Dewan Rakyat · 27 October 2009
15th Parliament, session 2, meeting 3 · 413 turns · 39,193 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat]
Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Datuk Md. Sirat Abu [Bukit Katil] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan, berapakah bilangan usahawan bumiputera yang tidak mampu bersaing dengan usahawan lain dalam pelbagai bidang perniagaan hingga menjadi muflis. Apakah usaha terbaru kerajaan dalam membantu usahawan bumiputera dalam bidang perniagaan kecil, sederhana dan berskala besar supaya usahawan bumiputera dapat ditingkatkan kemampuannya.
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Tuan Yang di-Pertua, kegagalan dalam perniagaan termasuklah menjadi muflis adalah satu perkara yang biasa dalam dunia perniagaan. Oleh hal yang demikian kita tidak boleh menganggap perkara ini sebagai satu aspek yang negatif malah ada peniaga-peniaga yang muflis pada satu masa tetapi akhirnya dapat membina kembali kekuatan dan menjadi usahawan yang berjaya. Berdasarkan satu kajian, kita dapati bahawa kira-kira 30 peratus daripada usahawan yang memulakan perniagaan tidak dapat bertahan selepas tiga tahun mereka menjalankan perniagaan. Tuan Yang di-Pertua, bilangan kebankrapan di negara kita ini meningkat apabila berlakunya masalah ekonomi. Umpamanya semasa krisis ekonomi 1997-1998 ramai yang bankrap dan sekarang ini juga kita menghadapi masalah ekonomi. Jabatan Insolvensi tidak ada angka-angka untuk kaum siapa yang muflis tetapi angka yang ada ialah untuk keseluruhan rakyat Malaysia iaitu dari tahun 2006 hingga ke hari ini seramai 4,067 kes yang melibatkan usahawan semua kaum telah menjadi bankrap. Ini mengikut angka yang diterbitkan oleh Jabatan Insolvensi bagi menjawab bahagian pertama soalan Yang Berhormat Bukit Katil. Bahagian kedua ialah apakah usaha terbaru kerajaan untuk membantu usahawan bumiputera dalam bidang perniagaan kecil, sederhana dan berskala besar. Kita sedia maklum bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah. Umpamanya untuk tahun ini sahaja ada 174 program yang melibatkan peruntukan kira-kira RM580 juta untuk pembangunan usahawan bumiputera. Soalannya apakah yang baru dalam pendekatan ini. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sudah pun menyatakan bahawa kita perlu merangka instrumen yang lebih berkesan kerana realitinya kalau kita lihat kepada pegangan ekuiti kerajaan masih lagi belum berpuas hati. Sasaran 30 peratus menjelang tahun 90 belum lagi tercapai. Maka baru-baru ini telah ditubuhkan umpamanya Ekuinas dengan suntikan modal pertama sebanyak RM500 juta. Ini adalah dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan ekuiti bumiputera dalam negara kita. Ini antara langkah baru yang diperkenalkan oleh kerajaan. Pihak Unit Perancang Ekonomi sedang merangka beberapa instrumen lain untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam bidang perniagaan. Antara strategi-strategi yang telah dilaksanakan dan dimantapkan termasuklah rangkaian usahawan.
Umpamanya dengan sektor hypermarket yang mana ini telah dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan ada juga program-program SME Corp. di bawah MITI yang khusus untuk meningkatkan penjenamaan untuk meningkatkan perusahaan bumiputera, produk-produk bumiputera, dan program-program latihan sedang dimantapkan. Pendek kata kejayaan bumiputera setakat ini belumlah dapat kita banggakan maka kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk memperbaiki instrumen yang sedia ada sambil kita juga sedang mengenal pasti beberapa kaedah dan instrumen baru untuk memastikan bahawa penyertaan bumiputera dalam perniagaan ini dapat dimantapkan lagi. Terima kasih.
Yang Berhormat Menteri, kita mengucapkan terima kasihlah kepada kerajaan dengan usaha-usaha yang begitu banyak dan kita tidak nafikan bahawa ramai juga usahawan bumiputera yang berjaya dan menjadi jutawan dalam pelbagai bidang perniagaan terutamanya dalam bidang automatif setelah mendapat latihan, bantuan dan juga sokongan galakan daripada kerajaan. Walau bagaimanapun, kita merasakan 30 peratus yang gagal tadi agak besar angkanya dan kita tidak tahu di mana silapnya. Adakah silap usahawan ataupun silap dasar kerajaan tetapi peruntukan telah banyak diberi. Walau bagaimanapun, kita berharap bahawa usaha-usaha baru yang diberitahu tadi akan dapat memperbaiki perkara ini dan akan dapat meningkatkan usahawan bumiputera dan juga yang lain-lain. Baru-baru ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan dalam bajet iaitu apabila diberi AP terbuka mulai 1 Januari nanti dan dikenakan caj RM10,000 bagi setiap satu AP. Kita hendak tahu hasil kutipan RM10,000 ini ke mana ia akan dibawa dan apakah...
Ringkaskan soalan, Yang Berhormat.
Ini ringkasan. Ke mana akan dibawa wang RM10,000 ini dan apakah kegunaan dana tersebut untuk usahawan bumiputera. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak menyambung sedikit tentang langkah-langkah yang diumumkan di dalam belanjawan. Seperti sedia maklum, kerajaan melalui Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan umpamanya RM200 juta untuk TEKUN termasuk RM20 juta untuk usahawan kecil kaum India. RM350 juta untuk SME Corp. Ini di antara peruntukan yang diumumkan di dalam belanjawan. Tidak perlulah saya ulangi kembali kerana Yang Berhormat sedia maklum tentang perkara ini. Berkaitan dengan soalan RM10,000 yang akan dikenakan kepada pemegang AP terbuka, kerajaan menjangkakan kutipan sebanyak kira-kira RM300 juta akan dapat dihasilkan daripada caj tersebut. Pemegang AP terbuka ini adalah kumpulan yang memang telah mendapat banyak faedah daripada kerajaan dan satu hari sudah pasti mereka akan perlu keluar daripada sektor ini. Kita tidak boleh pertahankan berdasarkan kaedah ini sampai bila-bila. Jadi oleh hal yang demikian, sebahagian daripada RM300 juta yang akan dikutip ini akan digunakan untuk membangunkan mereka sama ada untuk keluar daripada industri AP ini ataupun untuk mereka mempelbagaikan perniagaan dalam bidang-bidang berkaitan khususnya dalam bidang automotif, kerana kita hendak pastikan bahawa penyertaan bumiputera dalam bidang automotif ini akan terus ditingkatkan. Jadi insya-Allah tahun hadapan kita akan merangka secara terperinci bagaimana RM300 juta yang kita jangka dikutip daripada pemegang-pemegang AP ini, ke arah mana jumlah ini akan dibelanjakan. Akan tetapi sebahagian besarnya insya-Allah selepas kita berunding dengan Kementerian Kewangan akan digunakan untuk program-program bagi meningkatkan penyertaan bumiputera dalam bidang automotif di negara kita.
Ya, Yang Berhormat Ipoh Barat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan.Saya hendak bertanya di dalam sistem di mana sesebuah syarikat muflis, dia bukan kira bangsa. Dia tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera. Jadi apakah sasaran kerajaan dalam proses untuk menolong bukan sahaja bumiputera tetapi juga orang-orang yang bukan bumiputera. Dalam aspek ini Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tahu baru-baru ini kerajaan juga telah memberitahu bahawa RM10,000 dari AP itu akan disalurkan hanya kepada automotif industri bumiputera. Apakah alasannya dan bukankah pihak-pihak yang lain seperti masyarakat bukan bumiputera bertanya kenapa mereka didiskriminasikan, walhal kita ada satu polisi yang dikatakan 1Malaysia. Ini terus menunjukkan bahawa kerajaan bukan serius tetapi menipu rakyat masyarakat negara ini, kerana ini bukan 1Malaysia langsung... [Dewan riuh] Jikalau 1Malaysia, ia akan menolong semua bangsa tidak kira dia bumiputera atau bukan bumiputera.
1Malaysia Tuan Yang di-Pertua, adalah merujuk kepada penyertaan semua kaum dan kita hendak pastikan semua kaum merasakan mereka sebahagian dari negara kita. Prinsip inclusiveness telah ditekankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Maka di dalam bidang automotif ini penyertaan bumiputera adalah rendah, termasuklah di dalam bidang pengedaran, di dalam bidang vendor dan dalam bidang pembuatan masih lagi mantap. Oleh yang demikian, selaras dengan dasar kerajaan 1Malaysia supaya kaum bumiputera juga berhak mendapat faedah manfaat daripada kekayaan negara, maka kerajaan membuat keputusan bahawa penting dimantapkan lagi penyertaan bumiputera di dalam bidang ini. Itu selaras dengan konsep 1Malaysia. 1Malaysia bermakna semua kaum hendaklah dibela dan di dalam kes ini, kaum bumiputera bukan tidak dibela tetapi banyak program mereka juga menyertai. Rakan-rakan kita bukan bumiputera sebagai vendor untuk Proton, Perodua, sebagai pengedar kereta, sebagai komponen manufactures, sebagai assemblers dan yang lain-lain. Jadi adalah tidak benar menyatakan bahawa kaum bukan bumiputera tidak dibela malah semua kaum dibela dan ini selaras dengan konsep 1Malaysia Berkaitan dengan rancangan kerajaan untuk menolong mereka yang muflis, saya ingin memaklumkan bahawa semasa kita menghadapi krisis ekonomi, kita tubuhkan dana modal, dana harta. Banyak syarikat individu, bank-bank pun menghadapi masalah dan kita harus akui bahawa penubuhan dana modal, dana harta telah mampu untuk mengeluarkan ramai usahawan Malaysia bumiputera dan bukan bumiputera daripada keadaan muflis. Ini merupakan jasa terbesar kerajaan di dalam sejarah negara kita untuk menyelamatkan syarikat individu tanpa mengira kaum daripada muflis. Kita tahu sebagaimana di Korea Selatan, di Thailand, Indonesia tidak mempunyai Danamodal, Danaharta. Banyak syarikat merudum dan menjadi muflis, tetapi di negara kita Malaysia oleh sebab langkah kerajaan, maka usahawan-usahawan bumiputera dan bukan bumiputera telah mampu kembali dan ada di antara mereka hari ini menjadi gergasi di dalam bidang perniagaan hasil daripada bantuan kerajaan melalui Danamodal dan Danaharta tanpa mengira kaum. Terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Tuan Yang di-Pertua, bolehkah Dewan Parlimen yang mulia ini merakamkan ucapan takziah kepada pembantu rumah Indonesia Mantik Hani yang mati didera oleh majikannya di Taman Sentosa Klang dan juga kepada waris 22 orang pelajar-pelajar yang mati terbunuh di Jambatan Gantung di Kem 1Malaysia di Dipang, Perak. Bolehkah kita baca Al-Fatihah?
Yang Berhormat, ini masa soal jawab. Selepas ini kalau Yang Berhormat hendak...
Ya, terima kasih.
2. Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan, prestasi projek 10 tan padi yang telah dirancang dan apakah masalah utama yang pihak kementerian hadapi serta bilakah perancangan kementerian untuk mencapai tahap sara diri tanaman padi tanpa perlu mengimport dari luar negara.
Terima kasih, Yang Berhormat. Pelaksanaan projek padi 10 tan telah mula dilaksanakan di kawasan pembangunan pertanian bersepadu ataupun IADA, MADA dan KADA mulai musim satu, 2002. Matlamat utama projek ini adalah untuk meningkatkan hasil padi ke tahap 10 metrik tan sehektar semusim. Hasil projek ini telah menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Setakat ini projek ini telah mencapai luas 85,081 hektar dengan peningkatan purata hasil sebanyak 26.55 peratus, iaitu daripada 4.15 metrik tan sehektar sebelum projek, kepada 5.65 metrik tan sehektar. Seramai 24,600 orang pesawah telah terlibat dalam projek 10 tan di IADA, MADA dan KADA. Daripada jumlah tersebut, pesawah yang berjaya memperoleh hasil lebih daripada 8 metrik tan sehektar adalah seramai 880 orang daripada jumlah yang mengambil bahagian. Masalah utama yang dihadapi di dalam pelaksanaan projek padi 10 tan ini di antaranya ialah, serangan penyakit padi seperti serangan penyakit bena perang, karah dan siput gondang emas telah menyebabkan padi rosak dan menyumbang kepada kekurangan hasil padi. Masalah kekurangan bekalan air di mana sesetengah kawasan jelapang padi masih tidak mempunyai sistem pengaliran dan saliran yang sempurna. Sambutan daripada pesawah yang belum meluas terhadap projek ini. Mengenai tahap sara diri beras ataupun SSL negara pada masa ini ialah sebanyak 70 peratus. SSL ini adalah bergantung dikira berdasarkan jumlah penduduk dan kedudukan pengeluaran padi negara. Jumlah pengeluaran padi negara adalah sebanyak 2.38 juta metrik tan. Di dalam dasar jaminan bekalan makanan yang dilancarkan pada tahun 2008, tahap sara diri beras yang disasarkan menjelang tahun 2010 adalah sebanyak 86 peratus.
Ya, sila Yang Berhormat Kuala Kedah?
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas jawapan tersebut. Saya tidak menafikan bahawa perancangan di peringkat kementerian dengan peruntukan yang banyak untuk memastikan projek 10 tan ini tercapai. Akan tetapi menjadi kemusykilan kepada petani-petani kerana sebahagian daripada petani dijanjikan apabila memasuki projek 10 tan ini, mereka diberi pelbagai insentif termasuklah membaiki saliran, input-input pertanian, variety benih yang berkualiti dan pengurusan yang efisien. Akan tetapi yang menjadi masalah di ground Yang Berhormat Menteri adalah sebahagian daripada projek-projek terutamanya saliran tidak menepati dengan kehendak- kehendak ataupun tidak mencapai piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian dan perancangan. Ini termasuklah tender-tender membuat saliran, parit-parit jari..
Yang Berhormat, berucaplah masa bajet Yang Berhormat. Soalan Yang Berhormat.
Soalan ini dia teknikal sedikit Tuan Yang di-Pertua. Jadi projek-projek itu tidak sampai kerana terlampau banyak sub, hendak siapkan parit itu, sub kepada orang ini, kepada orang itu. Akhirnya parit yang disiapkan tidak berkualiti. Jadi bagaimana Yang Berhormat Menteri boleh memastikan? (cid:1)
Keduanya, saya ingin minta pandangan Yang Berhormat Menteri tentang significant Bernas campur tangan dalam projek 10 tan, adakah kebaikan atau keburukan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Banyak soalan tambahan dalam satu. Jadi yang pertama yang mengatakan bahawa sumbangan ini kurang berkesan, saya ingat kurang tepat. Saya ambil contoh seperti di KADA sebab saya telah pergi melawat KADA.
KADA ini dahulu, sebelum ada KADA, ada kawasan KADA Yang Berhormat, dahulu kadar kemiskinan di KADA ini, peserta-peserta dalam projek KADA waktu ditubuhkan, 75 peratus orang miskin dan hasil padi pada ketika itu hanya 3.5 metrik tan setahun. Akan tetapi apabila kita ada KADA, kita memperkenalkan sistem pengairan yang baru, maka hari ini di KADA yang mana kawasan Yang Berhormat adalah salah satu kawasannya, MADA minta maaf. Sekarang ini hasil kutipan padi di MADA telah pun meningkat daripada dahulu 3.5 metrik tan setahun, sekarang ini sudah buat padi setahun dua kali boleh menghasilkan sekali tuaian minimum 4.5 metrik tan, bermakna setahun hampir 10 tan untuk dua musim. Kadar kemiskinan di KADA juga telah pun dapat dikurangkan, hanya hari ini saya difahamkan ada 1 peratus miskin tegar di KADA. Ini menunjukkan dasar-dasar yang kerajaan Barisan Nasional buat begitu berkesan dan terbukti bahawa dasar ini kita membela nasib rakyat. Mengenai dakwaan Yang Berhormat, mengenai bantuan-bantuan yang kerajaan berikan untuk menaikkan dan menambah hasil padi. Ini ialah menambah hasil padi, satu peruntukan yang cukup besar yang kerajaan peruntukkan untuk dua tahun ini sahaja. Tahun 2008 hingga 2010, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 bilion untuk kita melaksanakan projek ini. Ini termasuklah tindakan untuk penyelenggaraan quick wind bagi kita meningkatkan sistem pengairan seperti Yang Berhormat nyatakan. Kemudian kita juga memberikan tanah, perataan tanah sawah. Kita berikan RM1,500 untuk satu hektar. Kita juga menggunakan sistem pembekalan kapur dengan kadar bantuan sebanyak RM850 sehektar. Kita juga mengadakan, membekalkan bajet NPK untuk menambahkan pembekalan nutrien melalui baja. Kadar bantuan yang diberikan ialah sebanyak RM400 sehektar. Kita juga mengadakan peruntukan kawalan makhluk perosak dan juga memberikan skim jentera dan juga mekanisme. Untuk kita menggalakkan lagi supaya petani-petani ini menghasilkan padi lebih 10 metrik tan, maka kita memperkenalkan pula insentif peningkatan hasil di mana bayaran insentif sebanyak RM650 metrik tan akan dibayar kepada petani-petani yang telah meningkatkan hasil pengeluaran mereka sekurang-kurangnya 1 peratus berbanding musim lepas. Naik 1 peratus, kita tambah lagi RM650 se metrik tan. Dalam masa yang sama, bonus sebanyak RM650 metrik tan bagi petani-petani yang mendapat hasil 10 metrik tan. Ini hendak menggalakkan Yang Berhormat, supaya petani-petani sungguh-sungguh... Dia dapat sahaja 10 metrik tan, bagi pula bonus lagi, tiap- tiap metrik tambahan ialah sebanyak RM650. Jadi ini usaha kerajaan yang bersungguh- sungguh untuk membela nasib petani. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Tidak dinafikan peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan dalam usaha kita untuk mencapai tahap sara diri dan tidak perlu meletakkan kebergantungan kepada beras import adalah sesuatu yang cukup besar. Jadi setakat ini pencapaian yang telah dicapai terutamanya pada tahun ini sekali pun hanya meningkat sekitar 12 peratus sahaja ataupun kalau dibandingkan secara puratanya adalah sekitar 6 tan untuk satu hektar, 6 tan lebih sikit iaitu 6.1 atau 6.2 secara puratanya. Jadi Yang Berhormat, apakah kita lihat dalam untuk kita mencapai kejayaan, sumber manusia adalah merupakan faktor yang cukup penting dan juga penyertaan petani di dalam mini estet ataupun ladang. Kalau untuk kita mencapai sasaran 10 tan seperti yang diharapkan oleh kerajaan. Jadi dalam usaha untuk menarik petani untuk menyertai mini estet dan juga ladang ini, apakah usaha-usaha yang lebih giat dibuat oleh kerajaan, oleh kementerian Yang Berhormat sendiri untuk mencapai sasaran ini?
Terima kasih Yang Berhormat daripada Arau. Memang salah satu cara untuk kita menambahkan hasil padi dan untuk kita menggalakkan petani-petani menghasilkan produk yang lebih tinggi mencapai matlamat kita 10 metrik tan.
Salah satu seperti Yang Berhormat nyatakan tadi bahawa kita memperkenalkan mini estet. Dalam masa yang sama di bawah Jabatan Pertanian, kita juga ada memperkenalkan projek berkelompok di mana dalam pengurusan mini estet seperti di Tanjong Karang yang saya lihat berjaya mencapai 10 metrik tan kerana sawah padi ini diuruskan dalam skala yang besar dengan menggunakan jentera-jentera moden dengan pemantauan yang cukup rapi daripada Projek Barat Laut Selangor. Kita juga di beberapa kawasan seperti di KADA, walaupun dalam keadaan tanah yang kurang baik tetapi ada tempat-tempat yang tertentu telah pun berjaya mencapai 10 metrik tan. Jadi dengan adanya insentif, subsidi dan juga matching grant yang diberikan kepada petani-petani, maka saya yakin usaha kita untuk mencapai self-sufficiency ataupun penggunaan sara diri menjelang tahun 2010 sebanyak 80 peratus boleh tercapai. Dalam masa yang sama, kita juga akan memberikan penekanan kepada generasi muda dengan kita menanamkan semangat bahawa hari ini untuk mengusahakan padi, tidak perlu lagi menggunakan tenaga dan juga kudrat yang kuat tetapi hanya menggunakan kebijaksanaan dan juga alatan moden untuk kita meningkatkan hasil padi. Terima kasih.
3. Dato' Dr. Abdullah bin Mohd. Zin [Besut] minta Menteri Pengangkutan menyatakan, setiap kali musim perayaan angka kemalangan jalan raya sangat menggerunkan. Apakah punca-punca berlakunya kemalangan tersebut dan langkah- langkah yang diambil bagi mengatasi masalah ini.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Besut di atas soalan tadi. Seperti mana Yang Berhormat, kita juga amat prihatin terhadap isu kemalangan ini. Walau bagaimanapun, mengikut rekod kementerian purata kematian akibat kemalangan jalan raya pada hari-hari biasa sebenarnya adalah 18 kematian sehari berbanding purata kematian semasa musim perayaan iaitu 17.4 kematian semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun 2009. Sebanyak 14.1 kematian semasa musim perayaan Tahun Baru Cina pada tahun 2009 dan 15.8 kematian semasa musim perayaan Deepavali tahun 2008. Tuan Yang di-Pertua, menurut analisa yang dibuat oleh Malaysian Institute of Road Safety, di antara faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya pada musim perayaan adalah seperti berikut: (i) peningkatan jumlah bilangan kenderaan berdaftar iaitu bertambah 80 peratus dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Sehingga tahun 2008 sahaja, jumlah kenderaan berdaftar ialah 17,971,901 kenderaan. Manakala dari bulan Januari hingga Ogos 2009 pula, ia telah mencecah hampir 18.7 juta kenderaan iaitu peningkatan 701,622 kenderaan dengan 8.8 juta daripadanya adalah motosikal yang menjadi penyumbang 60 peratus kepada kemalangan maut; (ii) peningkatan bilangan pemegang lesen yang meningkat sebanyak 47 peratus dalam tempoh 10 tahun. Sehingga bulan Ogos 2009, jumlah pemegang lesen memandu ialah seramai hampir 11.6 juta iaitu dalam tempoh peningkatan sebanyak 344,777 orang pemandu baru dalam masa lapan bulan iaitu purata sebulan pemandu meningkat 43,097 orang;
(iii) masalah yang paling penting sekali iaitu masalah sikap pemandu dan penunggang motosikal yang tegar ialah tidak berhemah, tidak berdisiplin dan memandu dengan laju, mengejar masa, letih, tidak memakai tali pinggang keledar keselamatan serta tidak memakai topi keledar atau tidak memakainya dengan betul iaitu atau kesimpulannya tidak mendahulukan aspek keselamatan semasa memandu.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sememangnya mencari jalan dan pelbagai pendekatan bagi menurunkan kadar kemalangan dan maut di jalan raya melalui pelbagai langkah dan pendekatan seperti berikut: (i) Jabatan Pengangkutan Jalan dengan kerjasama PDRM akan sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang dan mengkaji dari masa ke semasa keperluan pelaksanaan undang-undang baru yang diharap lebih berkesan; (ii) kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan Automated Enforcement System bagi melengkapi dan membantu kaedah penguatkuasaan manual yang sedia ada; (iii) mempertingkatkan pendidikan kesedaran awam peri pentingnya keselamatan jalan raya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan sebagai strategi jangka panjang untuk mengubah minda dan juga pengamalan safety first culture; (iv) melaksanakan program advokasi dan kempen melalui: (a) media massa; (b) program bersama komuniti; (c) program kempen bersama NGOs seperti Majlis Keselamatan Jalan Raya; Persatuan Pengedar Motosikal, Persatuan Permotoran Malaysia (AAM); dan (d) program bersama pihak swasta melalui program CSR mereka seperti Petronas, Shell dan Genting. (v) meningkatkan tahap keselamatan kejuruteraan jalan dan mengenal pasti dan membaik pulih black spot yang dilakukan oleh Kementerian Kerja Raya atau melakukan Road Safety Audit; dan (vi) meningkatkan tahap keselamatan kejuruteraan kenderaan yang pada masa ini pemeriksaan wajib hanya terbatas kepada kenderaan perdagangan yang dilaksanakan oleh PUSPAKOM.
Yang Berhormat Besut.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah memberi jawapan. Kita rakyat Malaysia saya rasa sangat berterima kasih kepada pihak kementerian dan pihak kerajaan kerana berusaha bersungguh-sungguh untuk pertamanya ialah mengurangkan kematian, mengurangkan kemalangan dan juga mengurangkan saman. Saya mengatakan bahawa telah bertambah tadi atau pun nampaknya semacam kurang berjaya kerana saya bandingkan dengan apa yang disebut dalam Utusan Malaysia, 29 September iaitu kalau dibandingkan dengan tahun lepas 2008 dalam ketiga-tiga bahagian itu 2009 bertambah. Cukup jelas iaitu 2008 kematian adalah 208 dan 2009 adalah 261. Begitu juga bertambah jumlah kemalangan, jumlah saman dan sebagainya.
Saya suka menarik perhatian dan juga soalan tambahan saya kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkaitan dengan kemalangan jalan raya di musim perayaan ini iaitu katanya walaupun hukuman mati sekali pun dikenakan, pengguna jalan raya di negara ini akan tetap melanggar undang-undang. Jadi apa pandangan Yang Berhormat Timbalan Menteri terhadap komen ini?
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Besut. Sememangnya sedikit sebanyak kita bersetuju dengan pandangan tersebut bahawa sebenarnya masalah sikap lah yang menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya yang semakin bertambah tadi. Habit melanggar undang-undang adalah merupakan sesuatu yang amat kita kesali tetapi walau bagaimana kita kesal sekali pun, kementerian dan kerajaan tidak berputus asa untuk mengubah sikap pemandu- pemandu kita iaitu bukan sahaja dengan menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana untuk mengubah software pemandu-pemandu rakyat Malaysia ini. Kita boleh menggunakannya melalui pendekatan pendidikan kerana dengan cara pendidikanlah yang akan membolehkan pemandu-pemandu kita lebih berkhemah dan berdisiplin seperti mana yang berlaku di kebanyakan negara-negara yang maju. Kita mahu dan kita berharap Kementerian Pendidikan dapat memberikan bantuan bagaimana untuk mendidik pelajar-pelajar di sekolah iaitu untuk menjadikan mereka akhirnya menjadi seorang pengguna jalan raya yang berhemah dan berdisiplin iaitu seperti mana kata pepatah, “Melentur buluh biarlah dari rebung”. Bagi pihak kementerian pula, kita juga mengambil langkah-langkah misalnya pada tahun hadapan ini kita akan menggubal kurikulum institut memandu supaya menjadikannya lebih komprehensif iaitu untuk memberikan banyak input baru khususnya untuk menambahkan kemahiran pemandu-pemandu kerana pada ketika ini jumlah kenderaan di jalan raya semakin begitu bertambah iaitu jumlahnya lebih daripada 18 juta dan keadaan jalan raya yang semakin kompleks. Oleh sebab itu ianya harus juga mengambil kira tentang perkembangan ini dengan memberikan misalnya pendekatan-pendekatan untuk meningkatkan etika dan moral pemandu-pemandu di jalan raya. Yang penting di sini ialah ianya tidak boleh dilakukan dengan hanya satu pendekatan. Pendekatan komprehensif haruslah dilakukan iaitu melibatkan ketiga-tiga aspek yang kita telah kenal pasti iaitu aspek enforcement, aspek engineering dan juga yang penting ialah education. Terima kasih.
Yang Berhormat Bachok.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang tadi ada menyebut tentang kerjasama antara Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri. Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Ketua Audit Negara yang dikeluarkan dalam media pada 20 Oktober lepas tentang Sistem Perangkap Lampu Merah Berkamera yang gagal berfungsi. Dari laporan tersebut menggambarkan kegagalan Kementerian Dalam Negeri melalui agensinya iaitu Polis Diraja Malaysia mengatasi kelemahan pengurusan dan penyelenggaraan aset. Tadi banyak disentuh tentang sikap pemandu. Kelemahan penyelenggaraan aset, lampu merah, lampu jalan, kondisi jalan raya ada kalau kita berjalan di Lebuhraya Utara-Selatan, kalau tidak silap saya sebelum sampai ke simpang Parit Buntar, kita akan berada di atas jalan raya itu seolah- olah berada di atas roller coaster. Kondisi jalan raya yang wallahualam, sama ada dibuat penyelenggaraan ataupun tidak, sama ada tahu atau pun tidak tentang kondisi-kondisi ini yang saya rasa perlu juga diberikan perhatian. Saya ingin tahu juga tentang hasil kajian Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010 dan tindakan yang diambil bagi memastikan matlamat rancangan ini tercapai. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bachok di atas soalan yang bernas tadi.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat seperti mana yang telah saya jelaskan tadi bahawa soal menangani masalah kematian dan juga kemalangan di jalan raya ini adalah memerlukan pendekatan yang komprehensif.
Tugas ini tidak terletak hanya kepada Kementerian Pengangkutan yang mengawal selia dua agensi penting iaitu JPJ dan JKJR, tetapi juga melibatkan agensi-agensi yang lain seperti PDRM yang bertanggungjawab dalam soal penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan undang-undang. Mengenai perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi, iaitu kamera yang tidak berfungsi itu, saya tidak mampu untuk menjawabnya kerana itu adalah bidang kuasa PDRM, tetapi yang penting di sini dan juga berkaitan dengan keadaan jalan raya. Seperti mana yang saya nyatakan tadi bahawa masalah road engineering of the road juga memainkan peranan penting dalam menyebabkan berlakunya pelbagai kemalangan di negara itu. Oleh sebab itu di sesetengah negara tertentu, pembinaan jalan ini sebenarnya dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, kerana apabila mereka menyediakan design atau reka bentuk pembinaan jalan tersebut, safety fixtures memang menjadi satu aspek yang penting dalam pembinaan itu. Akan tetapi bidang kuasa ini adalah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya. Seperti mana saya jelaskan tadi bahawa satu pendekatan yang komprehensif dari semua pihak yang melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kerja Raya bagi engineering of the road dan juga Kementerian Pendidikan untuk mendidik anak-anak. Penyertaan Kementerian Belia dan Sukan untuk mengatasi masalah-masalah belia yang terlibat dengan masalah samseng jalanan. Terima kasih.
4. Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Menteri Pelajaran menyatakan, berapakah peruntukan yang diberikan kepada bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Bahagian Perkembangan Kokurikulum, kementerian.
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam 1Malaysia. Tuan Yang di- Pertua, sebelum saya menjawab soalan ini, saya ingin membetulkan sedikit fakta dari Yang Berhormat Kuala Kedah tadi. Sebenarnya hanya tiga sahaja pelajar yang hilang dan satu telah pun ditemui, pelajar perempuan keturunan India. Jadi saya tidak tahulah sama ada kita boleh sedekah al-Fatihah kepada pelajar India ini. Jadi, lain kali betulkan fakta itu sebelum bercakap...
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Marang, peruntukan kewangan untuk bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab yang diagihkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kepada Bahagian Perkembangan Kokurikulum pada tahun 2009 ialah sebanyak RM1.21, juta khusus untuk kursus-kursus jurulatih dan juga pembinaan bahan-bahan kurikulum. Untuk makluman Yang Berhormat juga, untuk bahasa Arab, bahasa Arab telah diperkenalkan di sekolah rendah pada tahun 1997 di 97 buah sekolah rendah. Seterusnya diperluaskan melalui program j-QAF di kesemua sekolah rendah secara berperingkat mulai tahun 2005. Sehingga kini seramai 1, 287, 250 murid sedang mengikuti mata pelajaran ini di 4,467 buah sekolah rendah di seluruh Malaysia. Manakala di sekolah menengah, ia diajar di semua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) mulai tahun 1997 dan diperluaskan di sekolah menengah harian biasa, kepada murid yang mengikuti Kelas Aliran Agama ataupun KAA. Sehingga kini terdapat 542 buah KAA. Untuk Pendidikan Islam pula, mata pelajaran yang diajar ialah Akidah, Ibadah, Tamadun termasuk Sirah Nabi, Al-Quran termasuk bacaan, taksiran dan akhlak. Terima kasih.
Ya, sila Yang Berhormat Marang.
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan kedudukan Bahasa Arab dan Pendidikan Islam, dalam masa yang sama perlu disedari bahawa terdapat masalah yang dialami oleh pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran di luar negara, khususnya Al- Azhar. Barangkali satu-satunya universiti percuma di dunia yang ada pada hari ini, ataupun terlalu sedikit yang ada seperti itu, yang menjadi tumpuan pelajar Muslim atau miskin. Berlakunya pihak Universiti Al-Azhar telah membatalkan pengiktirafan terhadap sekolah- sekolah agama, bukan sahaja di negara kita termasuk di negeri-negeri Islam yang lain. Ini menjadi masalah kerana alasannya terlalu lemah bahasa Arab. Masalah lemah bahasa Arab ini bukan sahaja berlaku di kalangan pelajar asing termasuk pelajar Arab sendiri. Sebahagian orang Melayu lemah dalam bahasa Melayu, bahasa Malaysia, bahasa Inggeris pun begitu. Ini berlaku. Satu keadaan dalam dunia dan satu hal yang perlu diraikan. Apa yang penting dan apakah usaha kerajaan melalui salurannya iaitu saluran kerajaan untuk mengembalikan semula pengiktirafan ini. Keduanya, di sana terdapat seperti mana yang disiarkan di media-media dan internet. Agenda yang ditaja oleh barat, yang sengaja untuk melemahkan pendidikan agama, bahasa Arab dan Islam dengan tuduhan yang melulu terhadap Islam melahirkan pengganas hingga berlakunya tekanan-tekanan terhadap sesetengah negeri Islam, dalam masalah pendidikan agama dalam bahasa Arab ini. Adakah hal ini dialami oleh negara kita bersama, dan apakah langkah kita dalam menghadapi cabaran ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Marang. Mengenai soal pengiktirafan tadi, saya rasa ini adalah melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi sebenarnya. Walau bagaimanapun kalau mengikut daripada pendirian Kementerian Pelajaran Malaysia, untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Bahasa Arab. Dari segi polisinya iaitu di mana-mana institusi pendidikan yang mempunyai lima orang murid beragama Islam, mereka ini dimestikan menawarkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan di samping itu juga mewajibkan para pelajar ini mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam. Soal tanggapan mengenai dengan pengganas dan sebagainya, ini memang menjadi satu cabaran kepada kita, sebab itulah saya kata bahawa Pendidikan Islam ini penting kepada kita dalam bentuk penghayatan. Iaitu kita mestilah dapat membuktikan bahawa umat Islam ini adalah umat yang menekankan kepada keamanan, kedamaian dan tidak menolak kepada pembangunan. Akan tetapi dalam masa yang sama kita dapat membuktikan akhlak umat Islam yang sebenarnya. Oleh sebab itulah saya Tuan Yang di- Pertua, sepanjang sejarah saya sebagai Ahli backbencher saya tidak pernah mencelah apabila Yang Berhormat Marang berbahas ataupun berucap. Saya tidak pernah mencelah, mengganggu dan sebagainya, sebab saya menghormati Yang Berhormat Marang dan saya menyokong Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh Yang Berhormat Marang... [Ketawa] Terima kasih.
Yang Berhormat Jempol.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, sekarang ini terdapat kecenderungan di kalangan ibu bapa mengalih pandangan mereka dan minat mereka. Kalau dulu menghantar anak-anak mereka ke negara barat untuk belajar dan menguasai ilmu pengetahuan di negara tersebut, tetapi sekarang ini terdapat satu peralihan yang sangat besar, dari segi minat dan juga kecenderungan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka untuk belajar ke kawasan Timur Tengah. Oleh yang demikian, adakah perancangan di pihak kerajaan terutama sekali Kementerian Pelajaran supaya meluaskan pembelajaran bahasa Arab ini bukan sahaja di sekolah-sekolah aliran agama, tetapi juga memberikan pendidikan dan peluang kepada anak-anak di sekolah menengah sains dan juga di sekolah-sekolah menengah biasa supaya sekurang-kurangnya di peringkat PMR, mereka menguasai bahasa Arab dan mengambil pelajaran Bahasa Arab dan mereka mendapat kemudahan untuk belajar di negara-negara Timur Tengah.
Keduanya, sehubungan dengan itu Tuan Yang di-Pertua, tentang kualiti ataupun standard Bahasa Arab kita sangat tinggi dalam negara kita tetapi apa yang berlaku di negara Arab, mereka menggunakan bahasa Arab pasar. Oleh yang demikian adakah perancangan kementerian untuk merubah bagaimana mengajar dan mendidik anak-anak kita supaya menguasai juga bahasa Arab pasar.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Dewan ini, mata pelajaran j-QAF sedang dirancang untuk mula diajar di sekolah menengah, tidak sahaja di sekolah rendah seperti yang berlaku sekarang ini dan sebenarnya j-QAF yang juga menekankan kepada bahasa Arab memang mempunyai kesan yang amat menggalakkan. Saya mengambil contoh pencapaian mereka yang mengikuti program j-QAF ini menampakkan kejayaan walaupun masih belum sampai ke Tahun 6. Data pencapaian tersebut adalah seperti berikut; (i) amali wuduk 98.7 peratus; (ii) amali solat, bacaan 90.26 peratus; (iii) amali solat, perlakuan 99.25 peratus; (iv) Bahasa Arab 81.24 peratus; ini satu perkara yang menggalakkan; dan (v) Jawi ialah 89.87 peratus. Oleh itu dalam usaha kita mempersiapkan lagi pelajar-pelajar kita ini yang menguasai bahasa Arab dan sebagainya, maka kerajaan sendiri sebenarnya, saya mengambil contoh sebanyak 156 daripada 1731 buah sekolah agama rakyat telah pun mendaftar dengan Kementerian Pelajaran dan bagi tahun 2009, kerajaan telah pun membelanjakan sebanyak RM28.14 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan ataupun SABK dan RM30 juta kepada sekolah agama rakyat melalui program KAFA. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Jempol bahawa kerajaan memang merancang untuk mewujudkan lebih banyak sekolah kebangsaan agama kerana minat ibu bapa sekarang ini menghantar anak-anak ke sekolah menengah kebangsaan agama adalah tinggi, permintaan adalah tinggi dan boleh dikatakan kebanyakan sekolah menengah kebangsaan agama sudah pun bertaraf sebagai sekolah cemerlang. Terima kasih. [Soalan No. 5 – Y. B. Datuk Seri Panglima Mojilip Bumburing @ Wilfred (Tuaran) tidak hadir]
6. Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan, kedudukan sektor-sektor pekerja asing yang dibekukan dan dibuat semula dari segi jumlah pekerja asing sedia ada, telah habis tempoh dan dihantar balik ke negara asal dan permohonan yang masih diproses.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Bintang di atas soalan yang dikemukakan dan memohon untuk menjawab bersekali dengan soalan Yang Berhormat Gua Musang bertarikh 27 Oktober 2009 Tuan Yang di-Pertua, boleh?
Baik Yang Berhormat.
Terima kasih. Untuk makluman Yang Berhormat, dasar-dasar berkenaan pekerja asing dan PATI adalah diputuskan melalui jawatankuasa khas Kabinet mengenai pekerja asing dan PATI yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri.
Jawatankuasa ini bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Walau bagaimanapun dalam keadaan-keadaan tertentu yang memerlukan keputusan segera, Jemaah Menteri boleh memutuskan apa-apa dasar yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Semasa kegawatan ekonomi yang berlaku pada penghujung tahun 2008, kerajaan telah memutuskan untuk membekukan pengambilan pekerja asing bagi subsektor perkilangan electrical ataupun elektronik, textile dan semua subsektor untuk sektor perkhidmatan kecuali untuk jawatan tukang masak di restoran, pekerja resort pulau-pulau peranginan dan pekerja pembersihan ataupun pencucian bermula 28 Januari tahun 2008. Langkah ini terpaksa diambil kerana jumlah pemberhentian pekerja tempatan yang tinggi disebabkan kemelesetan ekonomi yang berlaku pada masa tersebut. Jabatan Tenaga Kerja telah merekodkan seramai 34,173 orang telah diberhentikan sehingga Oktober 2009 merangkumi pemberhentian biasa dan pemberhentian sukarela. Seramai 8,805 orang daripada jumlah tersebut adalah pekerja asing tetapi jumlah berkenaan tidak direkodkan mengikut kewarganegaraan mereka. Berdasarkan rekod imigresen, bilangan pekerja asing yang bekerja di bawah sektor perkilangan sehingga suku tahun kedua adalah seramai 549,242 orang manakala jumlah pekerja asing yang telah keluar dan kembali ke negara asal bagi suku tahun kedua sektor ini adalah seramai 214,425 orang. Jumlah ini adalah merangkumi keseluruhan subsektor dalam sektor perkilangan. Pekerja-pekerja asing yang pulang ke negara asal adalah disebabkan faktor-faktor seperti pemberhentian kerja, tamat kontrak, pemberhentian secara sukarela, dan sebagainya. Untuk makluman Yang Berhormat, pada masa ini pembekuan kemasukan pekerja asing bagi semua subsektor dalam sektor perkhidmatan kecuali subsektor tukang masak restoran, pembersihan ataupun pencucian dan pulau-pulau peranginan masih lagi dilaksanakan dan manakala subsektor electrical, elektronik dan textile dalam sektor perkilangan telah dibuka semula bermula 27 Julai 2009 apabila keadaan ekonomi semakin pulih serta kewujudan peningkatan tempahan yang tinggi untuk produk-produk dalam subsektor berkenaan. Untuk makluman Yang Berhormat juga, satu jawatankuasa khas teknikal telah ditubuhkan bagi menentukan kriteria kelayakan, syarat-syarat dan keperluan pekerja asing bagi setiap industri dan syarikat yang memohon pekerja asing tetapi melebihi kelayakan sedia ada yang ditetapkan melalui pusat kelulusan setempat pekerja asing ataupun one- stop centre. Ini kerana sejak ekonomi pulih, kebanyakan syarikat terutamanya dalam perkilangan elektronik dan elektrik mengalami masalah yang kronik untuk mencari tenaga kerja tempatan bagi menjalankan aktiviti perkilangan. Ini menyebabkan nisbah kelayakan yang ditetapkan tidak dapat dipatuhi untuk kelulusan pekerja asing walaupun syarikat tersebut benar-benar memerlukan tenaga kerja. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia dan dianggotai oleh Yang Berhormat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Yang Berhormat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri. Pada masa yang sama, semua permohonan pekerja asing bagi lain- lain sektor akan dipertimbangkan dan diteliti melalui pusat kelulusan setempat ataupun one- stop centre menggunakan kriteria kelayakan dan syarat-syarat sedia ada.
Yang Berhormat, saya mohonlah kalau Menteri menjawab, jawab sahaja soalan yang ditanya Yang Berhormat. Yang Berhormat Bukit Bintang.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Usaha kementerian Yang Berhormat segerakan kes permohonan tertunggak warganegara wajar dipuji tetapi berlainan pula di Jabatan Imigresen. Permohonan visa pekerja-pekerja asing lambat diproses, peniaga-peniaga dan majikan mengeluh. Adakah kerana dibayangi unsur minda rasuah seperti terbukti dakwaan rasuah Ketua Pengarah Imigresen di mahkamah dan apakah usaha kementerian untuk memastikan bahawa Jabatan Imigresen bebas rasuah dan proses permohonan tidak tertangguh lama dan boleh mencapai KPI yang disyaratkan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Memang satu soalan yang begitu jelas sekali dan apa-apa yang menghalang kita daripada buat yang betul, kita akan ubah dan kita akan berusaha dan seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi, segala usaha untuk memproses applications daripada warganegara asing yang hendak bekerja di sini akan kita percepatkan dan mengikut keperluan seperti yang saya sebutkan tadi.
Bagi KPI dan sebagainya, berkaitan dengan Imigresen tadi, Yang Berhormat telah pun tahu bahawa kementerian sedang berusaha untuk membersihkan imigresen ataupun mana-mana satu agensi daripada gejala rasuah. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Walaupun kita membuat pembekuan permohonan untuk pekerja asing ini tetapi kita tahu ramai yang tinggal secara haram di dalam negara kita ini. Jadi, saya ingin bertanya, adakah kita bercadang untuk membuat pemutihan sebagaimana yang pernah kita lakukan dahulu? Hal ini supaya pekerja-pekerja asing ini didaftarkan semula dan kita dapat mengesan kedudukan dan lokasi mereka supaya apabila tamat tempoh dan sebagainya, kita boleh bertindak untuk menghantar mereka pulang atau sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sekijang. Kerajaan memang sedar bahawa banyak pekerja asing yang telah tamat tempoh, tetapi masih duduk di sini. Ada juga yang datang tanpa izin. Usaha kementerian ataupun Kementerian Dalam Negeri melalui agensi seperti imigresen telah pun membuat operasi yang tertentu untuk mengatasi masalah ini. Misalnya, jumlah operasi dari 1 Januari 2009 sehingga 30 September ini adalah 5188. Kita akan juga memulakan satu exercise ataupun kerja untuk membersihkan di tempat-tempat yang tertentu seperti yang telah disebut melalui media massa, di mana pada masa sekarang ini, kita mengatur strategi-strategi yang tertentu supaya pekerja-pekerja asing ini yang sudah habis tempoh, tidak sah lagi pasport dia, dia akan diusir keluar. Bagi yang datang tanpa izin ini, kita akan mengambil tindakan penangkapan dan juga menghadap mereka ke mahkamah ataupun majikan-majikan yang menyimpan mereka ataupun di mana tempat dia ada berselindung. Sekian, terima kasih. [Soalan No. 7 – YB Datuk Tiong Thai King (Lanang) tidak hadir]
8. Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan, usaha dan polisi kerajaan dalam mengatasi masalah penyinaran serta komitmen kerajaan semasa UN Climate Change Conference pada 7-18 Disember ini.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian ini telah merangka Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan. Cadangan dasar ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan pada bulan November ini. Antara objektif dasar ini ialah untuk mengarusperdanakan perubahan iklim melalui pengurusan sumber yang bijaksana dan pemuliharaan alam sekitar yang dipertingkatkan untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi dan kualiti hidup. Kedua, mengintegrasikan respons bagi memperkuatkan daya tahan pembangunan terhadap pemulihan iklim semasa yang dijangka dalam dasar nasional, pelan dan program negara. Ketiga, memperkukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan untuk menggembleng peluang baru dalam mengurangkan impak negatif perubahan iklim. Tuan Yang di-Pertua, Malaysia akan menyertai Persidangan ke-15 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNFCCC (COP 15) pada 7 hingga 18 Disember 2009 di Copenhagen, Denmark. Sebagai warga dunia yang bertanggungjawab, Malaysia sentiasa menyokong usaha-usaha global untuk menangani isu perubahan iklim. Malaysia juga akan memaklumkan persidangan mengenai langkah- langkah mitigasi dan adaptasi yang diambil oleh negara kita untuk menangani isu ini di peringkat domestik.
Dalam persidangan di Copenhagen nanti, Malaysia akan terus berpegang kepada Prinsip, dengan izin, Common But Differentiated Responsibility and Respective Capabilities Malaysia berpendapat bahawa setiap negara perlu memainkan peranan di dalam menangani isu perubahan iklim mengikut keupayaan dan kemampuan masing-masing. Malaysia juga akan turut menyeru negara-negara maju untuk menunaikan komitmen mereka untuk melaksanakan pengurangan gas-gas rumah hijau mengikut tempoh komitmen pertama di bawah Protokol Kyoto. Selain itu, Malaysia juga akan menyeru negara-negara maju menyediakan bantuan kewangan dan memindahkan teknologi hijau kepada negara-negara membangun untuk membolehkan negara ini menangani masalah perubahan iklim.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya hendak tanya, apakah peratusan peningkatan karbon di negara ini dari tahun 2004 sehingga 2008? Berapakah jumlah kos yang dijangkakan untuk melaksanakan usaha- usaha yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri sebentar tadi dan dari mana datangnya peruntukan tersebut? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Mengikut inventori yang kita ada, dengan izin, jumlah emission yang berlaku di negara kita telah pun meningkat iaitu pada tahun 2005 dari 38.2 million tons of CO2-equivalent kepada 46 million tons of CO2-equivalent. Ini bermakna ada peningkatan ketara. Mengenai kos, sebenarnya untuk pemindahan teknologi kita belum mengetahui berapa kosnya, tetapi mengikut kajian yang telah dikemukakan kepada kementerian, untuk seluruh dunia, kos untuk mengambil tindakan mitigasi ialah tidak kurang daripada RM100 bilion dalam satu tahun. Jadi, inilah sebabnya kita akan mencadangkan di Copenhagen bahawa satu tabung haruslah ditubuhkan untuk membantu negara-negara membangun untuk menjalankan program- program mitigasi dan adaptasi.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Umum mengetahui bahawa negara kecil dan negara membangun diminta supaya patuh kepada piagam umpamanya Protokol Kyoto yang berkaitan dengan perubahan cuaca. Jadi, saya ingin tanya, sejauh manakah negara kita yang kecil ini boleh meyakinkan serta meminta negara-negara besar yang degil ini supaya turut serta di dalam komitmen mereka terhadap perubahan cuaca? Jadi, tidaklah negara kecil seperti kita dan negara-negara lain terpaksa berbelanja lebih berbanding negara-negara yang besar. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat, dalam Protokol Kyoto, negara-negara di dunia ini dibahagikan kepada dua kumpulan. Negara maju yang dinamakan dalam senarai Annex I dan bagi negara-negara membangun, ia adalah di dalam senarai Annex II. Dalam Protokol Kyoto, untuk negara- negara dalam Annex I ini, mereka diperlukan untuk memberi komitmen dalam mengurangkan CO2 ini dengan specific target. Namun begitu, untuk negara-negara Annex II, ini tidak diperlukan, tetapi mereka diperlukan untuk membuat apa-apa tindakan yang dapat atau mampu mereka ambil dan juga apa-apa tindakan-tindakan yang boleh dibantu oleh negara-negara lain. Jadi, untuk menentukan bahawa kepentingan negara-negara membangun ini sentiasa diambil perhatian, kita memang ada Kumpulan 77, di mana kita ada membuat satu pendirian. Begitu juga baru-baru ini, ASEAN turut membuat pendirian mengenai isu climate change ini. Dengan cara inilah kita berharap bahawa segala kepentingan negara-negara membangun sentiasa dijamin. Terima kasih.
9. Datuk Siringan Gubat [Ranau] minta Menteri Kerja Raya menyatakan, tindakan yang sedang dilakukan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk apabila melintasi pekan Ranau setiap tamu mingguan dan tamu bulanan.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya sedia maklum akan masalah kesesakan lalu lintas semasa hari tamu mingguan yang diadakan di Pekan Ranau pada setiap hari Ahad dan hari tamu bulanan pada 1 hari bulan setiap bulan.
Antara salah satu faktor utama yang menyebabkan kesesakan lalu lintas tersebut ialah tindakan para pengunjung yang meletakkan kenderaan mereka di kiri dan kanan bahu jalan. Keadaan ini menyebabkan laluan terhalang dan jalan satu lorong dua hala atau single carriageway sedia ada menjadi sempit. Tambahan pula tiada laluan alternatif bagi menggantikan jalan ini. Menyedari akan kesulitan yang dihadapi oleh para pengunjung hari tamu, Kementerian Kerja Raya telah meminta JKR Sabah untuk mendapatkan bantuan polis trafik bagi mengawal lalu lintas. JKR Sabah juga telah pun mengadakan perbincangan dengan Majlis Daerah Ranau untuk mengatasi masalah kesesakan ini secara menyeluruh. Telah dicadangkan agar lokasi tapak hari tamu sedia ada yang diletak di kawasan jambatan dan sekolah perlu ditempatkan di tapak baru yang lebih bersesuaian dan praktikal serta lebih mengutamakan keselamatan para pengunjung dan pengguna jalan raya. Sekian.
Yang Berhormat dari Ranau. Saya tidak akan memberi peluang kepada sesiapa yang menyoal soalan lain selain daripada Ranau ini sahaja Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih juga kepada Yang Berhormat Menteri yang memberi jawapan tadi. Soalan tambahan, Pekan Ranau adalah sebuah pekan kecil yang terletak di pedalaman Sabah dan merupakan persinggahan melalui lebuh raya daripada Pantai Barat dan Pantai Timur. Setiap 1 hari bulan ialah tamu bulanan dan hari Rabu dan Sabtu adalah tamu mingguan. Tambahan pula tapak tamu ini terletak di kiri kanan jalan raya. Bolehkah kementerian Yang Berhormat untuk penyelesaian dalam masa yang terdekat untuk melakukan pembesaran jalan raya yang memang begitu sempit dan kurang baik dan juga menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi dalam masa yang terdekat kerana ketiadaan tempat letak keretalah antara salah satu daripada menyebabkan masalah ini. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Ranau. Sebenarnya kita tahu jalan ini adalah single carriageway dari Barat ke Timur sampai ke Sandakan, saya ingat ya. Ini di tengah-tengah jalan di pedalaman Sabah. Ini adalah satu tempat di mana kita adakan pasar tani pada hari Rabu saya ingat, pasar tamu di hari Sabtu atau Ahad dan bulanan ada satu Pasar Tamu bulanan. Kita tahu juga tidak ada tapak medan letak kereta, ini benar dan kita tahu dan sudah buat survey di mana kalau ada pasar tamu bulanan, kereta yang letak di tepi jalan adalah sepanjang tiga sehingga empat kilometer panjang. Benar ya? Ini kita pun buat survey. Ada juga jalan untuk kita satunya sudah bincang dengan majlis daerah supaya tapaknya ditukar ke lain tempat yang sesuai. Kedua, kita membesarkan jalan tapi juga orang letak kereta di tepi-tepi jalan akan juga mengganggu trafik. Yang alternatif saya ingat kalau dapat Yang Berhormat memberi cadangan supaya kita kalau nak kekalkan tapak ini, minta pihak kerajaan negeri membuat satu access road masuk ke tapak tamu itu. Ini yang lebih sesuai saya ingat dan kereta boleh masuk ke tapak dan tak letak di tepi jalan ini. Sekian, terima kasih.
Saya dimaklumkan bahawa Dato' Ngeh Koo Ham daripada Beruas tidak hadir oleh kerana melawat ke jambatan runtuh. [Soalan No.10 –YB Dato' Ngeh Koo Ham (Beruas) tidak hadir]
11. Tuan William Nyallau [Lubok Antu] minta Menteri Kewangan menyatakan, apakah perancangan kementerian untuk membenarkan bank beroperasi di pekan Lubok Antu memandangkan jarak Bandar Sri Aman yang ada bank adalah sangat jauh iaitu lebih kurang 80km.
Tuan Yang di-Pertua, pertama sekali saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat yang telah pun mengemukakan soalan pada pagi ini. Untuk makluman Yang Berhormat, Bank Negara Malaysia sentiasa menggalakkan institusi perbankan untuk membuka cawangan ataupun menyediakan kemudahan perkhidmatan perbankan seperti ATM di kawasan-kawasan luar bandar. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk meluaskan akses perkhidmatan perbankan kepada orang ramai. Bank Negara Malaysia mempelawa institusi perbankan untuk membuat pertimbangan untuk menyediakan perkhidmatan perbankan di kawasan Lubok Antu. Secara amnya, sebarang keputusan berhubung dengan penubuhan cawangan perbankan dan terminal elektronik seperti ATM adalah ditentukan oleh institusi-institusi perbankan berdasarkan pertimbangan komersial dengan mengambil kira faktor-faktor seperti potensi perniagaan, profil, risiko, lokasi dan lain-lain. Berdasarkan kajian dan penilaian yang telah dibuat oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), ianya mendapati bahawa kawasan Lubok Antu belum bersesuaian dan tidak feasible dengan izin untuk menempatkan sebuah cawangan BSN atas faktor-faktor seperti berikut: (i) penempatan penduduk yang berselerak; (ii) ketiadaan hubungan ataupun lot kedai yang bersesuaian untuk sebuah bank; dan (iii) kurang aktiviti perniagaan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan bank. Walau bagaimanapun Tuan Yang di-Pertua, BSN sebagai sebuah bank yang berperanan menyediakan akses perkhidmatan perbankan untuk rakyat akan mempertimbangkan untuk memberi perkhidmatan unit bank bergerak kepada penduduk di Pekan Lubok Antu. Sekian, terima kasih.
Ya, terima kasih. Saya tidak puas hati dengan jawapan itu tadi. Mungkin maklumat-maklumat yang ada pada Menteri adalah tidak lengkap atau tidak betul. Jumlah penduduk Lubok Antu adalah 30,000 orang dan mempunyai kedai 36 buah dan sedang dibina 24 buah kedai dan sebuah kilang sawit menempatkan 300 orang dan sebuah Batang Ai Longhouse dan pejabat-pejabat kerajaan. Lubok Antu berdekatan dengan sempadan Indonesia, sudah tentu barter trade yang sedang berjalan dan kebanyakan orang Lubok Antu membuat transaksi di Sri Aman. Kalau diambil kira, transaksi perbendaharaan kecil pejabat daerah sahaja adalah sehingga satu bulan cash holdings dekat RM1 juta. Saya fikir maklumat yang didapati oleh Bank Simpanan Nasional adalah tidak tepat.
Yang Berhormat Timbalan Menteri, tolong jawabkan itu. Saya juga ketua bahagian dekat dengan Lubok Antu ini Yang Berhormat. Jadi saya dapat permohonan daripada orang juga.
Terima kasih. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat dari Lubok Antu. Memang seperti saya katakan dalam jawapan asal, Bank Negara Malaysia sentiasa menggalakkan supaya institusi-institusi perbankan untuk membuka lebih banyak cawangan khususnya di desa supaya orang ramai dan penduduk- penduduk di desa ini dapat mempunyai akses ke perkhidmatan perbankan.
Walau bagaimanapun, setakat ini Bank Negara Malaysia dan kementerian tidak mempunyai hasrat untuk memaksa institusi perbankan, untuk membuka cawangan- cawangan jika mengikut institusi perbankan berkenaan bahawa tidak adanya tempat yang sesuai sebab risiko sekuriti dan faktor-faktor lain juga harus diambil kira. Walau bagaimanapun saya difahamkan Bank Negara Malaysia selepas menerima soalan dari Yang Berhormat telah pun mengambil tindakan, iaitu mengeluarkan sepucuk surat kepada semua institusi perbankan supaya mereka ini memberi pertimbangan sekali lagi untuk mengadakan satu cawangan di Pekan Lubok Antu.
Ini sebab kita difahamkan Pekan Lubok Antu sedang membangun dengan pesat, mempunyai 30,000 lebih penduduk di situ dan jika hendak mendapat perkhidmatan perbankan di Bandar Sri Aman, bandar itu lebih kurang 80 kilometer jauh dari Lubok Antu. Walaupun demikian buat masa ini Bandar Sri Aman mempunyai enam institusi perbankan yang mempunyai cawangan di situ, iaitu enam cawangan bank di Sri Aman dan kita haraplah dengan BSN mula dengan perkhidmatan iaitu bank bergerak dahulu, dan selepas itu kementerian akan cuba tengok, melihat macam mana kita dapat membantu Yang Berhormat di kawasan itu. Sekian, Tuan Yang di-Pertua.
Saya akan membenarkan Yang Berhormat Bandar Kuching dengan syarat soalan di Lubok Antu Yang Berhormat.
Lubuk Antu, memang Lubok Antu.
Jangan Lubuk Pontianak.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya adalah semasa pilihan raya kecil di Lubok Antu, Kerajaan Barisan Nasional telah membuat janji bahawa akan membangunkan tempat itu, kawasan Lubok Antu dan lebih kurang RM70 juta peruntukan diagihkan ke kawasan Lubok Antu dan setiap pintu penduduknya pun terima RM500 wang supaya...
Soalan bank Yang Berhormat.
Ya, tahu, tahu. Begitu banyak peruntukan telah diagihkan dan diperuntukkan ke kawasan Lubok Antu. Kenapa, seperti mana kita tahu untuk membangunkan sesuatu kawasan, bank adalah satu institusi yang penting. Saya berasa hairan...
Ucapan Yang Berhormat, soalan, soalan.
Ya, soalan saya kenapa semasa pilihan raya kecil di Lubuk Antu ada begitu banyak janji untuk membangunkan kawasan ini dan selepas pilihan raya itu, selepas Barisan Nasional menang bank pun tidak ada. Bagaimana kerajaan akan membangunkan kawasan Lubok Antu?
Sudah, sudah faham Yang Berhormat.
Bilakah cawangan bank akan diadakan di kawasan Lubok Antu? Tidak akan kita hendak tunggu pilihan raya kecil lagi?
Tuan Yang di-Pertua...
Menteri sudah jawab soalan itu tadi.
Tuan Yang di-Pertua, saya kira soalan yang ditanya ini bercorak politik bukan ikhlas.
Apa perkara politik?
Dia cuma hendak ambil kesempatan.
Bila satu cawangan bank akan diadakan?
Tuan Yang di-Pertua...
Bila satu cawangan bank akan diadakan?
Itu style dia Tuan Yang di-Pertua, dia hendak cari kesempatan sahaja. Walau bagaimanapun saya katakan tadi dalam jawapan asal iaitu kita akan melihat dari semua sudut macam mana kita dapat membantu jika hendak membangunkan Pekan Lubok Antu bukan sahaja melalui penubuhan cawangan-cawangan perbankan, ada cara lagi dan Kerajaan Pusat sedang meneliti macam mana hendak membangunkan Pekan Lubok Antu itu. Tuan Yang di-Pertua, memang lebih...
Soalan saya senang, bila akan ditubuhkan? Pilihan raya kecil lagikah?
12. Tuan Er Teck Hwa [Bakri] minta Menteri Pengangkutan menyatakan jumlah bajet yang dibelanjakan sejak kempen pasang tali pinggang keledar untuk penumpang belakang dilancarkan: (a) nyatakan senarai jenis perbelanjaan yang telah dilakukan; dan (b) kenapa penguatkuasaan masih tidak dijalankan sungguhpun pemasangan percuma telah diberikan kepada jenis kenderaan tertentu.
Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat di atas soalan tersebut. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, perbelanjaan kempen pemakaian tali pinggang keledar penumpang bagi tempat duduk belakang yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya adalah dalam lingkungan RM8 juta. Perbelanjaan yang dibuat adalah bagi kerja-kerja seperti berikut: (i) penyiaran iklan-iklan di televisyen, radio, akhbar dan panggung- panggung wayang; dan (ii) program kempen dan advocacy atau public engagement oleh JKJR dari peringkat ibu pejabat, pejabat-pejabat negeri di seluruh negara. Tuan Yang di-Pertua, bagi pertanyaan Yang Berhormat yang kedua adalah dimaklumkan bahawa pemasangan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang secara percuma hanya melibatkan tiga syarikat pengeluar kenderaan iaitu Proton, Perodua, dan Honda yang mana kos pemasangan adalah ditanggung oleh syarikat pembuat yang berkaitan iaitu memberinya secara percuma. Berkaitan dengan persoalan penguatkuasaan masih belum dijalankan, kerajaan telah bersetuju untuk memberi tempoh pemasangan selama tiga tahun mulai dari 1 Januari 2009 dan berakhir pada 31 Disember 2011. Bagi kenderaan yang belum dipasang dengan tali pinggang keledar belakang dan langkah ini adalah supaya tidak memberikan bebanan kepada golongan yang terlibat dengan pelaksanaan dasar baru kerajaan itu. Selepas tempoh tersebut, iaitu pada 31.12.2011, mana-mana kenderaan yang gagal memasang tali pinggang keledar di tempat duduk belakang pada kenderaan mereka akan disaman dan dikenakan tindakan undang- undang. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih atas jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri. Soalan saya ialah dari kajian kempen pasang tali pinggang keledar untuk penumpang belakang, berapakah nyawa yang dapat diselamatkan semasa kemalangan dan juga saya ingin tahu, mengapa tiada kawalan keselamatan untuk penumpang belakang keempat, kelima dan keenam? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat di atas soalan tersebut. Setakat ini kami tidak ada apa-apa kajian tentang perkara tersebut, tetapi pada dasarnya apabila seseorang penumpang itu memakai tali pinggang keledar, sama ada di hadapan ataupun di belakang, ianya sudah tentu akan membantu penumpang tersebut daripada mengalami kemalangan teruk ataupun kematian.
Ini kerana dengan pemakaian tali pinggang keledar itu akan melindungi penumpang tersebut sekiranya berlaku sesuatu kemalangan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya akan merujuk kepada penguatkuasaan. Saya telah menerima banyak panggilan daripada mereka yang telah disaman oleh polis ataupun JPJ kerana tidak memakai tali pinggang belakang dan masalah ini kalau mengikut jawapan Timbalan Menteri tadi penguatkuasaan ini akan ditetapkan pada hujung tahun 2011, dan saya telah difahamkan bahawa sesetengah model kereta yang sudah memasang tali pinggang ini, penguatkuasaan ini telah dijalankan. Inilah jadi masalah. Bolehkah Timbalan Menteri menerangkan kepada Dewan ini model-model kereta manakah yang telah dipasang tali pinggang keledar dan yang belum dan bagaimana masalah ini boleh timbul? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya untuk pengetahuan Yang Berhormat, berdasarkan kepada kajian yang telah dibuat oleh MIROS ataupun Malaysian Institute of Road Safety menunjukkan bahawa 90 peratus daripada kenderaan-kenderaan persendirian yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 telah pun dilengkapi dengan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang. (cid:1)(cid:1)(cid:1)(cid:1)
Apa yang saya katakan tadi yang telah diberikan penguatkuasaan itu adalah bagi kenderaan-kenderaan dan mereka yang diberi grace period sehingga 2011 untuk memasang tali pinggang keledar bagi tempat duduk belakang dan sekiranya mereka tidak memasang, mereka akan dikenakan saman dan juga didenda RM300. Akan tetapi bagi mereka yang telah pun mempunyai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang sebenarnya pihak penguat kuasa telah pun mengambil tindakan untuk menguatkuasakannya iaitu khususnya kepada polis sehingga Ogos 2009 misalnya, pihak polis telah pun mengeluarkan 803 saman di atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang. Jadi saya percaya ini adalah jelas bahawa bagi kenderaan-kenderaan yang tidak dilengkapkan dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang ini, mereka diberikan grace period sehingga 2011 dan kita bersyukur kerana ada tiga syarikat kenderaan yang bersetuju memasangnya dengan percuma iaitu Honda, Proton dan Perodua. Sekiranya kesemua mereka ini... Kita berharap dalam tahun 2011 itu kesemua kenderaan di negara ini adalah dipasang dengan kemudahan tersebut. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekian sahaja pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada pagi ini. [Masa untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Rang Undang-Undang Dibawa Ke Dalam Mesyuarat — RANG UNDANG-UNDANG KEWANGAN (NO. 2) 2009 Bacaan Kali Yang PertamaBill
Rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan 1990; dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Timbalan Menteri Kewangan I [Dato’ Chor Chee Heung]; dibaca kali yang pertama; akan dibacakan kali yang kedua pada Mesyuarat kali ini.
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2010 Bacaan Kali Yang Kedua DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2010Bill
Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah “Bahawa Rang Undang-undang Perbekalan 2010 dibacakan kali yang kedua sekarang” dan “Bahawa Usul yang berikut ini dirujuk kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.” Bahawa Dewan ini, mengikut seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan iaitu satu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada lima puluh tiga bilion dua ratus sembilan belas juta enam ratus lima puluh tujuh ribu ringgit (RM53,219,657,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2010, dan bagi tujuan-tujuan dan butiran-butiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Bajet Persekutuan 2010, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 12 Tahun 2009, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran- butiran itu di ruangan lapan dan sembilan senarai tersebut. [26 Oktober
Ahli- ahli Yang Berhormat, sebelum saya menjemput Marang menyambung ucapan, pada pagi ini tadi ada menyentuh satu perkara sedikit. Jadi dengan itu, Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi sesuatu ucapan takziah mengikut Peraturan Mesyuarat 14(1)(k), ucapan-ucapan takziah dalam Majlis Mesyuarat pada lazimnya hanya dituju kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, bekas Ahli-ahli Majlis Mesyuarat serta para pembesar negara sahaja. Walau bagaimanapun, Dewan merakamkan perasaan simpati dan takziah kepada mereka yang terlibat yang disebut oleh Yang Berhormat dari Kuala Kedah tadi. Sekian, terima kasih. Yang Berhormat Marang.
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan, seluruh warga tetamu, anak-anak, para pelajar dan hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian. Semalam saya telah meminta supaya kita semua mengambil iktibar dan pengajaran daripada kemusnahan dan keruntuhan tamadun-tamadun yang terdahulu walaupun ianya dibina dan dibangunkan oleh kuasa-kuasa besar dunia yang sangat hebat. Al-Quran memaparkan kisah kemusnahan itu untuk menjadi pengajaran kepada kita. [Membaca beberapa potong ayat Al-Quran] “Adakah kamu tidak mengambil pengajaran daripada kaum A’ad yang membangunkan bandar Iram yang terdiri di dalamnya bangunan- bangunan tinggi pencakar langit yang disokong oleh tiang-tiang besar yang hebat. Kaum Tsamud yang membelah bukit dan batu-batu pejal yang besar di lembah yang dibangun oleh mereka. Kaum Firaun yang mendirikan bangunan-bangunan laksana pasak bumi atau mempunyai bala tentera yang ramai, mereka telah melakukan fasad, lalu Allah timpakan ke atas mereka azab yang memusnahkan mereka.” [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]
Fasad ialah kemungkaran. Dalam aspek akidah, ekonomi, politik, sosial yang melibatkan segala aspek kehidupan manusia, ini akan memusnahkan tamadun yang terdahulu walaupun mereka adalah kuasa-kuasa besar dunia yang kita perlu mengambil iktibar. Negara kita yang bukan negara kuasa besar juga menunjukkan ada bunga-bunga fasad. Keburukan yang perlu kita baiki sekiranya dibiarkan boleh membesar, berlakunya kemungkaran dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Masih wujud kemiskinan yang tidak boleh diatasi. Masih ada rakyat yang ketinggalan dalam pelajaran, pendidikan, masih ada yang ketinggalan dalam rawatan dan kita mengalami pelbagai gejala maksiat, gejala sosial dan jenayah sehingga menimbulkan ketakutan sama ada di rumah kediaman ataupun di jalan raya di waktu siang hari dan kita juga mengalami hubungan di antara negeri-negeri walaupun kita mengamalkan federalisme. Kita mengakui bahawa negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, Malaysia masih terus ketinggalan walaupun kita mengamalkan sistem federalisme yang dikawal oleh Perlembagaan dan pelbagai perjanjian. Kita perlu mengambil iktibar peristiwa yang berlaku pada zaman kini. Krisis yang memecahkan Pakistan Timur dan Barat yang melahirkan negara Bangladesh walaupun rakyatnya satu bangsa, satu agama, berlakunya perpecahan dan mencetus dan melumpuhkan negara dalam sesebuah negara. Di negara jiran kita yang melahirkan Timor Leste, bukan kerana agama. Agama tidak boleh disalahkan dalam masalah ini. Ini kerana hal-hal yang menyebabkan fasad. Krisis di selatan Thailand dan selatan Filipina yang belum selesai sehingga mengorbankan mangsa yang terbunuh dan menjadi pelarian segala-galanya berpunca daripada rasa tertindas dan hak mereka tidak dipedulikan. Soviet Union yang berkecai di abad yang lalu walaupun negara itu negara besar, kuasa besar yang hebat, tetapi kerana kuku besinya, kerana ekonomi sosial yang menjadi punca kemusnahan negara Soviet Union, dalam masa yang sama kita mengambil iktibar daripada umat yang bertamadun pada zaman dahulu dan yang terkini juga menjadi pengajaran. Islam yang pernah mencapai zaman kegemilangannya tidak bermula dengan secara spontan di mana ianya bermula dengan generasi awal di kalangan kabilah Arab yang bersifat jahiliah dalam semua perkara – buta huruf, miskin, zalim, ganas, terbelenggu dalam amalan maksiat, hidup di padang pasir yang belum lagi diterokai hasil kekayaan perut bumi di masa itu tiba-tiba memimpin umat bertamadun dan meneroka asas kepada kemajuan dunia terkini dalam segala bidang hanya dalam masa 23 tahun, seterusnya melonjak ke tahap memimpin dunia sehingga berusia 14 abad. Pada zaman kini pula dilimpah ruah negeri-negeri yang sama di Asia Barat, negeri Arab melimpah ruah dengan kekayaan yang membekalkan sumber tenaga kepada seluruh dunia yang memberi pulangan kewangan yang terkaya tetapi rakyatnya masih ada yang termiskin dan negara masih bergantung dengan kuasa Barat...
Minta laluan.
...Termasuk dalam bidang ekonomi dan... Nanti habis sekejap. Dan kewangan dan lain-lain sangat erat dengan kuasa- kuasa asing, tidak seerat bersahabat dengan negara serantau dan sama-sama anggota OIC sendiri pun yang sepatutnya menjadi negara sahabat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Marang. Saya sangat tertarik dari segi merebaknya fasad. Dari kajian-kajian di Malaysia ini didapati bahawa gejala-gejala sosial ini berpunca daripada empat sebab iaitu keimanan atau pengajian agama sangat rendah di kalangan orang Islam, apatah lagi di kalangan orang bukan Islam. Yang keduanya perpecahan dalam keluarga. Perceraian ibu dan bapa dan keruntuhan rumah tangga. Yang ketiganya, terlibat dengan rakan sebaya. Itu berkenaan dengan juvana dan yang keempatnya kemiskinan.
Analisa ini telah pun diterangkan punca-punca gejala sosial dan sebagainya yang berlaku. Akan tetapi ada lagi yang disebut oleh Yang Berhormat Marang bahawa bukan dari segi sosial sahaja, tetapi dari segi ekonomi, politik dan sebagainya. Jadi, dalam al-Quran disebut... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Bolehkah Yang Berhormat Marang terangkan apa punca yang besar sekali yang disebut oleh al-Quran ini... [Membaca sepotong ayat al- Quran] Apa sebenarnya? Orang-orang yang kaya yang ‘muftrah’ ini yang menjadi punca merebaknya sel-sel gejala sama ada dalam ekonomi, sosial dan politik, bolehkah?
Terima kasih. Kesilapannya ialah kita terpengaruh dengan pendekatan barat yang hanya menyediakan keperluan- keperluan aspek materialistik di mana fitrah manusia bukan sahaja memerlukan kebendaan. Dalam masa yang sama, mereka memerlukan makanan-makanan rohani. Kita melihat gejala-gejala yang tidak munasabah berlaku di negara-negara Barat yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita. Adanya orang yang kaya raya, hartanya banyak. Tiba-tiba setelah meninggal dunia didapati ada surat wasiat supaya menyerahkan hartanya kepada anjing. Yang menjaga bukan anak, anjing. Anak tidak tahu pergi ke mana. Yang kita melihat bintang-bintang filem yang hebat rupa parasnya, yang banyak hartanya membunuh diri. Puncanya ialah kerana mereka cukup makanan-makanan kebendaan tetapi tidak ada makanan-makanan rohani-rohani. Oleh kerana itu kita perlu kembali kepada penyelesaian yang sempurna, yang lengkap, yang merangkumi fitrah dan naluri manusia untuk mendidik bukan sahaja tubuh badan mereka dengan kesihatan tetapi akal, budi, hati, nurani mereka dengan akhlak-akhlak yang mulia dan dikaitkan dengan ketakwaan- ketakwaan kepada Tuhan pencipta alam yang menjadi kepercayaan kepada Islam bahkan kepercayaan juga kepada agama-agama yang lain dan mengikut naluri manusia. Tuan Yang di-Pertua, dunia moden melihat bangsa Jepun dan German yang kalah teruk dan hancur lebur dengan kemusnahan kalah perang dunia kedua. Tiba-tiba, kini bangkit menjadi salah satu kuasa besar dunia. Yang sedang dilihat pada hari ini negara Eropah yang tidak bersumber seperti kita bangkit secara bersama dengan gagasan EU menjadi kuasa besar yang mampu mempengaruhi dunia dan bersaing di kalangan negara- negara maju. Mengapa kita yang dikurniakan sumber manusia yang unik dengan kepelbagaian hasil bumi yang melimpah ruah merupakan bahan-bahan zahir bagi membina negara bertamadun dengan tenaga manusia yang berbagai-bagai, masyarakat majmuk, pencapaiannya mengalami pasang surut yang belum lagi mencapai tahap yang dapat melepaskan diri sebenarnya daripada kepompong dunia ketiga dan masuk dalam kalangan negara maju setelah 50 tahun dan 50 kali belanjawan dibentangkan dan diluluskan. Kita perlu mencari asas bagi tamadun manusia ialah iman, akhlak, ilmu dan amal soleh. Kerajaan yang adil dan bijak serta rakyat yang bersatu padu, marilah kita melakukan muhasabah dengan adil. Adakah ciri-ciri ini bertapak dengan baik dan teguh di tanah air tercinta ini. Negara yang bertamadun juga ialah apabila berjaya membangunkan manusia yang merangkumi pemimpin, para pegawai dan rakyat yang berperanan di dalam tanah airnya membina keperluan yang cukup dan menjaga keamanan, keselamatan dan pertahanan negara dengan segala kelengkapannya yang berkemampuan. Islam yang dicatatkan di dalam Perlembagaan menjadi agama persekutuan adalah agama yang sempurna merangkumi aspek akidah, ibadat, syariat dan akhlak. Dalam konteks negara pula merangkumi aspek politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Dalam keadaan kita berdakwah, mengajak manusia kepada Islam, seboleh-bolehnya namun kita dilarang memaksa penganut agama lain tetapi dalam aspek negara Islam membuka pintu seluas-luasnya kepada pelbagai kaum dan agama. Sebenarnya dalam ruang Perlembagaan itu sendiri banyak perkara yang boleh diamalkan bagi memenuhi penyelesaian masalah negara yang kita alami.
Tuan Yang di-Pertua, kegagalan menangani berlakunya penyelewengan dalam amalan politik dan pentadbiran kerana kita mentafsirkan Islam dalam Perlembagaan, mengikut persepsi peninggalan penjajah, fahaman sekularisme, anutan mereka memisahkan agama yang berkait dengan iman kepada Allah dalam semua urusan dan perhitungan hari akhirat, dosa dan pahala, dalam urusan hidup, kita berbangga dengan...
Mohon sedikit penjelasan Yang Berhormat Marang.
...Beragama yang berlaku dalam masyarakat hari ini tetapi masih belum memenuhi seluruh ajaran Islam yang sempurna. Sila.
Ya, Yang Berhormat Marang. Saya ingin mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Marang kerana suatu ketika Yang Berhormat Marang merupakan Menteri Besar kepada satu negeri yang bagi saya hasil mahsul kurniaan Allah SWT nya mewah, hasil minyaknya. Saya juga difahamkan mengenai kerangka Perlembagaan terutama sekali Artikel 108 yang dengan khusus memperuntukkan mengenai adanya yang dipanggil sebagai National Finance Council ataupun Majlis Kewangan Negara. Dikatakan di sini, dengan khusus mesyuaratnya akan diadakan setiap 12 bulan yang mana akan dihadiri oleh Menteri Besar dan Sultan-sultan dan Raja-raja sebagai wakil negeri. Saya yakin itu merupakan aspirasi fundamental utama feudalisme ke arah menghormati kedaulatan negeri-negeri. Soalan saya, kalau Perlembagaan 108, terutama sekali 108(4) dengan izin, it shall be the duty of the Federal Government to consult the National Finance Council in respect of maksudnya itu merupakan tanggungjawab dan wajib pihak Kerajaan Pusat merujuk kepada Majlis Kewangan Negara itu terhadap aspek-aspek geran, percukaian, pinjaman tahunan dan banyak lagi sehinggakan (a) sampai (h) itu. Persoalan saya, tidak satu langsung pun apa yang dibangkitkan di dalam perbelanjaan belanjawan selama ini mengambil aspek feudalisme, mana mungkin 1Malaysia yang mengangkat maruah bangsa dapat dicapai apabila yang diuar-uarkan hanyalah slogan tetapi yang dicerobohi, yang tidak dihormati ialah maruah rakyat yang sentiasa mematuhi Perlembagaan. Di suruh bayar cukai, bayar cukai. Di suruh masuk pilihan raya, masuk pilihan raya tetapi tidak dihormati maruah bangsa tersebut. Mohon penjelasan.
Terima kasih Yang Berhormat. Secara praktikalnya tidak memenuhi objektif daripada Perlembagaan yang sepatutnya dilaksanakan, semangat feudalisme yang berlaku. Contohnya, kita pernah memerintah Kelantan tahun 1990 sehingga kini dan Terengganu 1999 sehingga 2004, satu penggal. Kita mengalami hal-hal yang menjadi kerenah, yang menjadi masalah. Sepatutnya kita menghormati keputusan rakyat negeri yang memilih Kerajaan Negeri secara demokrasi, pilihan raya yang memberi hak kepada negeri-negeri tetapi apa yang berlaku di sebaliknya. Contohnya ialah sebahagian yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi ialah Capitation Grant yang wajib diberi kepada negeri-negeri yang mengikut perhitungan jumlah rakyat kerana tiap-tiap rakyat membayar cukai, apa yang dipakai oleh masing-masing. Yang di makan, yang di minum, yang diimport.
Maka Kerajaan Pusat mestilah memulangkan balik mengikut kadar jumlah rakyat negeri... Kebiasaan yang dibayar pada bulan Mac dan bulan Ogos, tetapi bagi kami pernah berlaku pada masa dahulu, dibayar bulan Disember. Sengaja dilambatkan sebagai satu cara untuk menyusahkan kerajaan negeri. Kami tidak melupakan peristiwa pembatalan royalti petroleum di Terengganu yang dimateraikan melalui perjanjian yang memperuntukkan 5 peratus sahaja.
Perjanjian untuk menyelesaikan krisis di antara Sabah dan Sarawak dalam tahun 60-an. Apabila berlaku krisis pada zaman pemerintahan Tun Razak, yang menimbulkan kegawatan politik maka digubal Akta Kemajuan Petroleum 1974. Ditubuhkan Petronas, dan diadakan perjanjian antara Petronas dengan semua kerajaan negeri, di mana sekiranya ada hasil-hasil petroleum sama ada di darat ataupun di laut, hendaklah diserahkan kepada Petronas, dan Petronas hendaklah menyerahkan sebagai royalti kepada kerajaan negeri sebanyak 5 peratus. Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri menandatangani, termasuklah negeri- negeri yang tidak mempunyai minyak turut menandatangani perjanjian ini, dan telah diberikan kepada Terengganu dari tahun 1978 sehingga tahun 2000. Di mana dalam masa kami memerintah, kami hanya mendapat dalam satu kali bayar, penggal yang pertama tahun 2000 sahaja, iaitu sebanyak RM4 Juta. Selepas itu dibatalkan melalui keputusan Perhimpunan Agung UMNO dan cadangan Perhimpunan Agung UMNO. Ini menunjukkan bagaimana politik menguasai Perlembagaan sehingga kita melakukan hal-hal seperti itu. Kita juga faham pada hari ini, walaupun terdapat tuntutan daripada Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh Kerajaan Barisan Nasional dan kami menyokong dengan bersungguh-sungguh. Dibayar sebahagian daripadanya tetapi di candat, di candat ini kalau kami di Pantai Timur ia seperti memancing sotong, dipancing lari. Di pancing lari, peruntukan digunakan ini projek-projek yang tidak sepatutnya dibelanjakan oleh kerajaan negeri seperti jalan raya di negeri, lapangan terbang itu dipotong lagi. Ini hal-hal yang tidak patut. Sepatutnya kita mestilah mentadbir negeri dengan bijak, bijaksana bukan bijak sini... [Ketawa] Akan tetapi apa yang berlaku ialah bijak sini dan bijaksana, saya sangat bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Balik Pulau, rakan saya tadi. Yang Di- Pertua...
Yang Berhormat Kubang Kerian sudah bangun Yang Berhormat.
Islam dicatatkan dalam kehendak Perlembagaan menjadi Agama Persekutuan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Marang. Saya teruja dengan ucapan Yang Berhormat Marang tentang semangat federalism. Dalam Dewan ini juga ada pelajar-pelajar kita yang mungkin belajar Ketatanegaraan, yang mesti faham apa dia semangat federalism. Bahawa Negara ini ditubuhkan dan diwujudkan di atas semangat ini dan Kerajaan Malaysia tidak boleh wujud tanpa ada kerajaan-kerajaan negeri yang menjadi asas kepada pembinaan negara ini. Yang Berhormat Marang, kita ada pengalaman pahit, ditarik royalti minyak di Terengganu dan kemudian dibayar dan diberikan balik, setelahnya jatuhnya Kerajaan PAS. Hal itu tidak mengapa, sama ada PAS atau UMNO yang memerintah, perjuangan kita adalah memberikan hak ini kepada rakyat dan ini hak rakyat... [Tepuk] Kemudian kita juga ada pengalaman di negeri Kelantan, saya sendiri telah ke Laut China Selatan, dalam perjalanan hampir 15 jam. Melihat sendiri pelantar minyak Cakerawala, yang telah diambil hasil negeri ini, walaupun atas alasan di bawah kawasan yang bertindih GDP, tetapi hasil kiraan kita Kelantan layak mendapat hampir RM1 bilion di atas royalti yang dinafikan ini. Oleh itu Yang Berhormat Marang, adakah ini apa yang dikatakan financial apartheid?... [Tepuk]
Istilah baru.
Bukan istilah baru, Yang Berhormat Putatan. Saya ingin berkongsi sebuah buku yang ditulis oleh Muhammad Yunus “Creating a World Without Poverty.”
Perjuangan dia untuk menghapuskan apa yang dikatakan sebagai financial apartheid di Bangladesh, supaya ekonomi negara ini tidak dibolot oleh kapitalis-kapitalis yang pelahap, mendiskriminasikan, dan menganaktirikan hak-hak orang-orang miskin di Bangladesh. Akan tetapi dalam konteks negara kita... Yang Berhormat Marang saya ingin berkongsi bahawa jangan ada apa yang dikatakan financial apartheid ini. Biarlah, kalau rakyat memberikan mandat kepada Barisan Nasional, perintahlah sejujurnya dan seikhlasnya atas nama demokrasi. Ambil mandat itu dan kita tidak akan mempertikaikan atas nama Perlembagaan Negara tetapi apa yang berlaku, jangan ada financial apartheid diamalkan dalam negara kita. Apa pandangan Yang Berhormat Marang?... [Tepuk]
Saya rasa financial apartheid ini berlaku di antara kerajaan negeri dan Persekutuan, bahkan di antara rakyat dengan rakyat, di sana ada berlakunya apartheid dengan pembahagian. Bermula dengan bumiputera dan tidak bumiputera. Selepas bumiputera, difikirkan pula Putera UMNO, Putera MCA, dan Putera MIC... [Tepuk] [Dewan riuh]. Yang lain... yang menyokong parti-parti kerajaan sahaja dan ini menjadi lebih sempit. Ini suatu keadaan yang menunjukkan bahawa kita dibayangi oleh fahaman- fahaman yang tidak betul, dengan sebab itu sebagai orang Islam, saya mengajak pemimpin-pemimpin yang beragama Islam supaya kembali kepada ajaran Islam. Kegagalan menangani penyelewengan dalam amalan politik dan pentadbiran, kerana kita mentafsirkan Islam dalam Perlembagaan mengikut persepsi peninggalan penjajah. Fahaman sekularisme anutan mereka memisahkan agama yang berkaitan dengan iman dan Allah... Kepada Allah dalam semua urusan dalam perhitungan hari akhirat, dosa dan pahala dalam urusan hidup. Kita berbangga dengan kesedaran agama yang berlaku dalam masyarakat hari ini tetapi belum memenuhi seluruh ajaran Islam yang sempurna. Masih banyak yang boleh ditingkatkan, budaya mendirikan masjid, memakmurkan masjid sangat baik, mengerjakan umrah di masa cuti dan mengerjakan haji sehingga kuota tidak cukup. Akan tetapi kesedaran mengikut kefahaman Islam yang menyeluruh terhakis, supaya memahami bahawa menjalankan kerja kehidupan dalam segala aspek adalah ibadah. Sekiranya dilaksanakan dengan betul menepati ajaran Islam, dengan ikhlas bukan sahaja mendapat gaji dan lebih berkat lagi mendapat pahala, yang memberi berkat kepada diri dan keluarga di dunia ini. Diikuti kebahagiaan selepas mati dan hari akhirat. Sebaliknya kalau menyeleweng, menipu, rasuah dan menyalahgunakan kuasa maka dosanya besar, hasilnya tidak berkat, kekal di dunia dan celaka di akhirat. Tuan Yang di-Pertua, peruntukan yang besar tidak mengukuhkan negara, walau sebesar mana sekalipun tidak mengukuhkan negara. Sekiranya masih ada stadium yang baru dibina runtuh seperti di Terengganu. Bangunan yang retak di Malaysia Timur kerana menggunakan pasir laut untuk memurahkan kos perbelanjaan bagi mengaut keuntungan diri sendiri sebanyak-banyaknya tanpa mengira orang lain. Malangnya, masjid baru juga runtuh. Sebelum ini berlaku keruntuhan makmal komputer di beberapa buah sekolah dan lebih dahsyat lagi keruntuhan Highlands Towers yang mengorbankan mangsa yang ramai. Kehilangan wang dengan jumlah yang besar, penyelewengan seperti MIKA Holdings, BMF, KWSP, Tabung Haji, PERWAJA, dan lain-lain lagi, yang terkini ialah PKFZ. Keseluruhan perkara yang lalu menjadi sejarah lampau untuk dilupakan tanpa apa-apa tindakan. Perkara ini hendaklah menjadi pengajaran supaya kerajaan sedar dan insaf walaupun ada pihak penguat kuasa seperti SPRM sehinggalah ada mahkamah dan penjara tetapi semua jenayah besar itu berada dalam lipatan sejarah. Tidak ada apa-apa tindakan yang diumumkan, yang diketahui dan banyak yang terlepas bebas. Jerung-jerung yang besar bebas dan prebet yang kecil sahaja yang dihukum dan diambil tindakan. Sebaliknya diadakan pula undang-undang seperti AUKU, OSA, ISA, dan lain-lain, diikuti dengan mengongkong media dan mengawal amalan demokrasi untuk mempertahankan kesalahan dan penyelewengan yang berleluasa.
Rakyat tidak mampu menjadi hakim yang adil melalui proses dan konsep demokrasi. Sampai bila hendak bertahan dengan cara itu? Bagi orang Islam perkara ini tidak habis walaupun mereka yang terlibat telah meninggal dunia, telah mati dan generasi akan datang mengutuk sekeras-kerasnya, kesedaran ini tidak berlaku kerana aspek iman dan akhlak tidak wujud dalam asas negara sekiranya kita masih berfahaman dalam Islam mengikut penjajah. Bagi penganut bukan Islam pula tetap mempunyai aspek moral dalam agama masing-masing, dan mereka yang tidak beragama juga mempunyai naluri kemanusiaan sejagat yang sama, mengabaikan aspek ini bukan sahaja meruntuhkan Negara Islam yang terdahulu, termasuk juga negara Komunis yang tidak beragama, walaupun ayat boleh di bingungkan oleh media, dan ditakutkan dengan berbagai-bagai akta dan tindakan tanpa undang-undang dan akta, ketahuilah kita tidak boleh menipu manusia selama-lamanya dalam semua perkara (cid:1)(cid:1)(cid:1)(cid:1)
Sepatutnya semua kita wajib menamatkan khidmat dan hayat kita dengan jasa yang baik kerana kita semua tidak mampu mempertahankan kuasa dan hidup di dunia selama-lamanya. Tuan Yang di-Pertua...
Minta laluan Yang Berhormat.
Umat dan negara yang bertamadun.
Yang Berhormat Rantau Panjang.
Rantau Panjang.
Ya.
Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sungguh tertarik dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat. Bagaimana terlalu banyak penyelewengan, bagaimana terlalu banyak penyalahgunaan kuasa yang terus menghantui rakyat dan kita lihat bagaimana rakyat yang lemah yang terus dizalimi. Saya minta pandangan Yang Berhormat dari sudut Islam bagaimanakah cara untuk pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab melakukan penganiayaan dan kezaliman ini untuk bertaubat kepada Allah. Apakah mereka seharusnya meminta maaf ke atas setiap rakyat yang dizalimi termasuk juga rampasan royalti untuk Kelantan? Apakah setiap sen wang royalti yang dirampas ini di negeri-negeri yang berhak menerima itu dan apabila mereka hendak bertaubat mereka harus meminta maaf setiap rakyat yang dizalimi dan setiap sen yang telah disalahgunakan? Minta penjelasan.
Terima kasih Yang Berhormat, saya akan ulaskan kemudian nanti. Tuan Yang di-Pertua, umat dan negara bertamadun juga mestilah dengan ilmu yang bermanfaat. Adalah menjadi hikmat yang besar bahawa ayat-ayat Al-Quran yang pertama diwahyukan ialah yang berkait dengan ilmu... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Bermaksud “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku, (2) air mani campuran suami dan isteri. Bacalah demi Tuhan kamu yang paling mulia,(3) Yang mengajar manusia dengan kalam,(4) Dia mengajarkan manusia apa yang dia tidak mengerti.(5)” Hanya dengan ilmu manusia beriman dengan ilmu juga manusia berakhlak mulia dan dengan ilmu juga negara mencapai kemajuan. Jikalau duit sahaja banyak, ilmunya tidak cukup tanpa iman dan akhlak tidak memberi apa-apa faedah kepada umat, bangsa, dan negara. Bahkan lebih menjadi bahan bakar yang merosakkan negara.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda... [Membaca sepotong hadis] Bermaksud “Demi Allah, aku tidak bimbang jikalau kamu menjadi fakir, apa yang aku bimbang ialah dibentangkan kepada kamu kemewahan dunia sebagaimana yang dibentangkan kepada umat-umat yang terdahulu. Lalu mereka berkelahi dengan sebabnya dan kamu juga berkelahi seperti mereka dan kamu binasa”. Jikalau berilmu, beriman, berakhlak boleh mengatasi kefakiran dan kemiskinan tetapi apabila harta sahaja tanpa perkara itu tidak mendatangkan apa-apa faedah. Kaum Bani Israel menjadi contoh apabila mereka mengalami kemusnahan bersama kekayaan dengan tidak bermoral dan tidak mengambil ilmu yang bermanfaat. Rakyat seramai-ramainya hendak lah diilmukan. Kerajaan wajib melakukan muhasabah terhadap sistem pelajaran dan pendidikan yang lalu, terkini, dan berwaspada untuk akan datang. Mengkaji jikalau ada kelemahan-kelemahan yang berlaku. Jangan peduli kepada mereka yang ada kontrak untuk kewangan semata-mata. Maka ditangguhkan untuk melakukan islah dalam pendidikan dan pelajaran kerana menjaga kepentingan segelintir manusia yang mementingkan diri dan tidak mengutamakan rakyat. Rakyat sepatutnya...
[Bangun]
...Hendaklah diberi peluang seluas-luasnya dengan menyediakan segala kemudahan tanpa diskriminasi..
Yang Berhormat Marang.
...Jangan ada mereka yang tercicir kerana kemiskinan dan berlakunya diskriminasi. Galakan untuk peningkatan kemajuan ilmu hendaklah ditingkatkan bukan sahaja menyediakan bangunan-bangunan termasuklah juga kemudahan-kemudahan yang lain di samping menggalakkan semua pihak yang berkemampuan menceburkan diri dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Akta Pendidikan yang digubal di tahun 90-an bagi mengongkong dan membelenggu aktiviti pendidikan dan perkembangannya semata-mata untuk kepentingan politik hendaklah dikaji semula. Bagi penganut Islam tidak ada pemisahan agama daripada ilmu dan duniawi. Bahkan peranan agamalah yang melahirkan profesional yang bertanggungjawab dalam urusan duniawi. Pemisahan Islam daripada ilmu duniawi masih wujud dalam sistem pendidikan negara. Pendekatan Islam Hadhari adalah cara berorientasikan sekularisme dengan pelaksanaan Islam secara terpilih bukan secara ibadah dan menyerah diri kepada Allah yang menjadi objektif kepada Islam. Hanya mengambil Islam yang dilihat dalam aspek tamadun kebendaan di zaman silam, tanpa Islam itu menjadi dasar konsep dalam amalan menyeluruh. Tidak memenuhi keperluan Islam yang menjadi hidayah kepada ilmu menyebabkan ilmu itu tidak dibina dan dibentuk di atas akidah yang tepat dan beramalkan syariat Allah dengan kebijaksanaan yang berpandukan petunjuk secara naf dan akal yang diizinkan mengikut kemampuan manusia yang tetap mempunyai kelemahan. Tanpa konsep kesempurnaan Islam menjadikan keadaan terus menerus dibelenggu kegagalan. Maka Islam pula yang dipersalahkan. Pendekatan itu akan mengalami nasib yang sama dengan agenda islamisasi yang terhad. Slogan ”Bersih, Cekap, dan Amanah” walaupun amanah itu adalah sifat Nabi dan Rasul, kepemimpinan melalui teladan, qudwah seterusnya sesat dalam slogan berkhidmat untuk negara dan kembali semula kepada Islam Hadhari dengan tahap yang tersebut. Mereka yang menaja Islam Hadhari menghilangkan diri dan pimpinan yang ada terpaksa dibelenggu bebanan laksana memikul biawak hidup selagi sistem pendidikan yang tidak menjadi acuan pembangunan insan mengikut fitrah nalurinya. Maka seterusnya tetap akan menemui kegagalan walaupun menyediakan peruntukkan besar. Tuan Yang di-Pertua, pendidikan dan pelajaran adalah membangun keperibadian manusia yang disebut dengan pembangunan insan mestilah memenuhi naluri kejadian mereka dan mengikut peranan mereka di atas muka bumi ini. Manusia itu bukan sahaja mempunyai hak yang perlu diisi perutnya dengan keperluan makanan, minuman, pakaian, dan tempat kediaman, kemudahan berpindah, dan berkomunikasi. Dalam pada masa yang sama mereka memerlukan makanan, roh, dan akal.
Mengadakan hubungan dengan penciptanya iaitu Tuhan, hubungan hati nurani dengan sekelilingnya di kalangan manusia dan makhluk-makhluk yang lain termasuk alam sekitar dengan akhlak yang mulia. Keperluan kebendaan juga berbeza di antara manusia dengan binatang, tumbuh- tumbuhan. Melanggar batasnya secara haram membawa penyakit yang membahayakan diri sendiri yang dapat dirasai dan diketahui sendiri bagaimana bahaya dan merebaknya dewasa ini. Maka sistem pendidikan hendaklah dikaji sepanjang masa kerana ada perkara yang tetap dan ada perkara yang berubah. Sistem pendidikan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan kerja lahir bagi keperluan hidup yang perlu dimajukan dalam masa yang sama juga membina jati diri manusia bagi menghadapi cabaran hidup dan mati. Walau pun kerajaan tidak boleh beri kerja jikalau dia ada jati diri, dia boleh membangun diri dia sendiri. Usaha mengilmukan rakyat sebanyak-banyaknya hendaklah dengan saluran yang mudah dan tidak memakan masa yang banyak. Di sini lah peranan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda yang sepatutnya menjadi bahasa ilmu bagi negara kita. Di samping bahasa ibunda mengikut kaum yang ada penguasaan bahasa asing juga perlu bagi mengambil ilmu dan kebijaksanaan daripada perkembangan ilmu di seluruh dunia. Usaha melalui PPSMI, untuk menjadikan rakyat seramai-ramainya mampu berbahasa Inggeris sahaja adalah kerja rugi masa dan duit dan melambatkan perkembangan ilmu dalam masyarakat umum di negara kita. Sebaliknya membawa kesan negatif yang lebih besar melalui dunia tanpa sempadan dengan penjajahan ilmu dan budaya yang memerangkap negara dalam penaklukan penjajahan moden melalui teknologi maklumat bukan memperkasakan rakyat dengan jati diri berlandaskan iman, akhlak, dan ilmu yang memberi manfaat kerana segelintir sahaja yang menguasai bahasa ilmu melalui bahasa Inggeris dan paling ramai menyalahgunakan pengetahuan bahasa Inggeris. Menguasai ilmu adalah seberat-berat untuk seberapa rakyat mestilah dengan bahasa sendiri. Itulah cara mudah cepat sepatutnya peranan Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah didukung kepada mengembalikan bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu di rantau ini seperti pernah berlakunya dalam sejarah sehingga bahasa ini digunakan menjadi bahasa ilmu oleh ratusan juta penduduk di kawasan ini. Pengumuman menghapuskan PPSMI tanpa usaha yang sebenarnya memperkasakan bahasa kebangsaan tidak memenuhi hasrat yang sebenar. Kerajaan tidak seharusnya melambatkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan kerana meraikan pemimpin yang salah.
Menangguhkan perkara yang sepatutnya adalah langkah yang sangat salah bagi kepentingan negara dan sangat malang sekiranya kita tidak ada jati diri dalam memaruahkan bahasa kita sendiri. Dahulu kita pernah melaungkan slogan Bahasa Jiwa Bangsa. Kita melihat menggunakan bahasa kebangsaan tidak digalakkan di kalangan pemimpin-pemimpin bukan sahaja di luar negara malah di dalam negara. Kita melihat di luar negara pun, bagaimana pemimpin negara asing berucap di Bangsa-Bangsa Bersatu pusingan antarabangsa. Walaupun mereka menguasai bahasa Inggeris; Perancis, bahasa Cina, bahasa yang dibenarkan di peringkat antarabangsa, mereka juga menggunakan bahasa ibunda untuk menunjukkan jati diri mereka bahawa mereka adalah orang yang berjiwa bangsanya. Di sinilah semangat Bahasa Jiwa Bangsa, itu bukan tempat kita hendak tunjuk ‘act’. Hendak tunjuk ‘act’ kena tempat yang lain dan tempat munasabah. Walaupun kita dikatakan merdeka sejak lebih daripada 50 tahun, masih ada kawasan yang terpinggir dari segi kemudahan pelajaran dan pendidikan kerana meraikan mereka yang merebut keuntungan di kawasan bandar dan pinggir bandar. Di sana masih wujud sekolah-sekolah yang tidak mencukupi keperluannya di kawasan luar bandar dan di sana masih ada pelajar yang berjaya di peringkat awal tetapi tidak dapat menyambung ke peringkat pengajian tinggi kerana kerenah yang menghalangnya untuk mendapat bantuan secara biasiswa atau pinjaman. Setiap kali belanjawan diumumkan, tetap ada peruntukan dengan jumlah yang besar. Akan tetapi, adakah dikaji sejauh mana sampai kepada sasarannya. Mereka yang salah dibiarkan. Mereka yang ikhlas terus memikul bebanan. Sangat malang peristiwa yang berlaku yang membawa kemalangan jiwa di Perak, jambatan runtuh.
Walaupun kita telah mencapai kemerdekaan 50 tahun lebih, di Perak berlakunya jambatan runtuh yang mengorbankan anak-anak sekolah. Ini adalah kealpaan yang sangat menyedihkan. Kalau Perak macam itu, saya tidak tahu di Sabah dan Sarawak. Barangkali teruk lagi agaknya. Ini satu hal. Peringatan ilmu juga hendaklah disokong suasana yang menggalakkan perkembangan minda yang memajukan ilmu. Hendak pergi sekolah, berenang ikut sungai. Hendak pergi sekolah, guna sampan. Hendak pergi sekolah, jambatan dalam bahaya. Bagaimana hendak meluaskan minda dia dengan cergas untuk mendapat ilmu. Sudahlah komputer payah, alat-alat tidak cukup. Di sana ada akta-akta dan peraturan yang diadakan untuk kepentingan politik. Menghalang kebebasan memberi pandangan sama ada mengongkong via mahasiswa atau para pensyarah adalah membantut kemajuan ilmu dalam negara kita. Amalan tidak betul berlaku juga bagi kenaikan pangkat di pusat-pusat pengajian tinggi. Pangkat dan jawatan bukan kerana pencapaian akademik tetapi kerana kepentingan politik dan pandai mengampu. Kalau keadaan ini diteruskan akan menyebabkan menurun taraf keilmuan di pusat-pusat pengajian tinggi. Seterusnya, media memainkan peranan dalam mendidik rakyat. Media juga memainkan peranan besar mendidik rakyat sama ada pemimpin atau rakyat, sama ada menjadi baik atau buruk. Dalam negara demokrasi yang sihat, media membentuk minda pemimpin dengan kritikan membina, dengan teguran media kerajaan menyedari kesilapan, kerajaan tidak takut kepada media. Kalau mereka silap, boleh diambil berbagai-bagai tindakan termasuk menghukum bukan dengan cara menghalang kebebasan media. Media juga mendidik rakyat menjadi hakim yang adil melalui pilihan raya sekiranya media itu dibenarkan menjadi saksi yang adil dengan mengizinkan maklumat daripada semua pihak kepada semua pihak. Memaksa media menjadi pengampu dengan memuji kerajaan sepanjang masa sehingga tidak ada yang salah. Menjadikan kerajaan dan pemimpinnya itu maha suci daripada segala kekurangan, maha suci daripada kesilapan dan kesalahan. Sebenarnya membawa kemusnahan negara dan rakyat apalagi disogok dengan hiburan yang lebih banyak melalaikan daripada memberi pengajaran. Kerajaan telah bersikap berani dalam hal ini. Menjadikan media lebih lebar untuk saluran memuji, mengecilkan ruang untuk mendidik adalah kesalahan yang pasti menuju kemusnahan pada akhirnya. Maka, amalan media tidak lagi menjadi amal yang soleh namun tidak dinafikan ada juga di kalangan pengamal media yang menjadi pejuang yang gagah berani menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman. Keadilan dan hak. Parti yang dipilih melalui pilihan raya adalah pemegang amanah bagi pihak seluruh rakyat. Bukan sahaja tertentu bagi penyokong parti kerajaan di masa pilihan raya. Sepatutnya selepas pilihan raya, hendaklah memerintah dan mentadbir dengan adil untuk semua rakyat. Allah menyebut dalam al-Quran [Membaca sepotong ayat al-Quran] yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya memilih pemimpin dengan amanah. Dan apabila kamu menghukum memerintah manusia, hendaklah menghukum dengan adil”. Al-Quran menyebut ”manusia” tanpa mengira Islam atau bukan Islam, tanpa mengira apa bangsanya, tanpa mengira menyokong kerajaan atau pembangkang. Firman Allah SWT... [Membaca sepotong firman] yang bermaksud, “Dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh dengan suatu kaum, menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana adil lebih hampir pada takwa”. Pembangkang bukan musuh, pembangkang adalah mereka yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan kerajaan... [Tepuk] Mereka boleh menjadi penasihat supaya kerajaan tidak melulu. Negara yang tiada pembangkang adalah negara diktator. Adakah kita mahu menuju ke arah negara seperti itu? Allah SWT Yang Maha Berkuasa juga adalah Maha Adil menunjukkan adil yang menyeluruh termasuk terhadap hamba-Nya yang kufur dan derhaka. Namun haknya tetap diberi dengan adil dibezakan antara menghukum kerana kesalahannya dan haknya yang diberi.
Puak penyamun Tuhan beri rezeki, yang jahat Tuhan beri rezeki, yang gila Tuhan beri rezeki. Masalah kedudukan dia itu satu hal yang lain, kesalahan dihukum. Akan tetapi, hak dia tetap ada. Ini contoh yang ditunjukkan oleh Allah SWT. Dalam negara yang mengamalkan demokrasi yang sebenar, pembangkang dan penyokongnya tidak boleh dijadikan musuh kerajaan. Mereka juga adalah rakyat yang mempunyai hak yang sama dalam segala urusan kehidupan. Amalan memberi hak terpilih... [Tepuk] Amalan memberi hak terpilih adalah amalan Dajal yang dikutuk Allah dan Rasul- Nya. Dajal ini, siapa yang ikut dia beri, yang tidak ikut dia tidak beri. Itu suatu cara yang zalim. Bersifat zalim mengikut perhitungan demokrasi dan lebih besar lagi zalimnya kalau mengikut perhitungan ajaran Islam di peringkat hubungan negeri dan persekutuan yang ditimbulkan Yang Berhormat balik Pulau dan oleh rakan Yang Berhormat tadi. Kita menegakkan sistem federalisme yang dicatit dalam Perlembagaan. Kerajaan Pusat hendaklah menghormati keputusan rakyat di negeri masing-masing yang memilih parti-parti Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri menyedari bidang kuasa Kerajaan Pusat yang diterajui oleh barisan negara. Adalah tidak bermoral apabila Kerajaan Pusat menghukum negeri-negeri yang dimenangi oleh parti lawannya dengan apa cara sekalipun sama ada secara terangan seperti membatalkan hak royalti, hasil petroleum di Terengganu yang tidak dikembalikan sewajarnya sehingga hari ini dengan memejamkan mata terhadap perjanjian yang telah dimateraikan, memandang kecil terhadap negeri Kelantan yang ada hasil laut yang berhadapannya sehingga lebih mementingkan negara lain laksana, anak di riba dilemparkan, kera di hutan disusukan. Adalah cara tidak bermoral dengan melambat-lambatkan perkara yang boleh disegerakan. Contoh yang paling nampak jelas ialah kelambatan siapnya jalan raya yang menghubungkan Kuala Berang di Terengganu melalui Gua Musang di Kelantan dan Simpang Pulai di Perak yang memakan masa puluhan tahun dan bergilir Menteri Kerja Raya. Begitu juga projek yang lain-lain termasuklah pembangunan Malaysia Timur yang terlalu ketinggalan walaupun punya hasil yang diangkut daripada tanah mereka tetapi kemudahan terlalu sedikit. Perubahannya daripada zaman penjajah terlalu lambat dibandingkan dengan zaman sekarang, masih ada yang berhubung melalui sungai dan jalan hutan yang sukar. Tuan Yang di-Pertua, masih banyak projek yang bersifat rakyat tidak diutamakan. Contohnya kami di Terengganu yang mana perut buminya kaya-raya menjadi hasil yang diangkut oleh Kerajaan Pusat seperti juga Sabah dan Sarawak. Akan tetapi, kemiskinan rakyatnya sangat malang dengan masih berselerak petani dan nelayan termiskin, projek mega untuk memusing kekayaan di kalangan tertentu terlalau besar, berlipat ganda dibandingkan dengan peruntukan mengutamakan rakyat miskin. Sudah banyak peruntukan disediakan sejak berkali-kali belanjawan dibentangkan tetapi hasilnya tidak membawa perubahan yang memuaskan. Kita harap pemimpin baru ini membuat perubahan. Program Monsoon Cup, Taman Tamadun Islam di Terengganu yang hanya menjadi kebanggaan di tengah penderitaan rakyat miskin di kelilingnya. Bantuan yang diberi kepada petani dan nelayan lebih bersifat sementara waktu tanpa membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan. Lahir pula miskin baru yang perlu dibantu, kampung nelayan di pesisir pantai mengalami hakisan pukulan ombak yang bertalu-talu setiap musim tengkujuh. Sejak puluhan tahun, royalti hasil petroleum yang diberi sejak tahun 1978...
Sehingga dinafikan jumlahnya pada tahun 2000 lebih RM7 bilion ketika di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat pimpinan PAS, dalam masa sepenggal jumlahnya tidak banyak. Hanya baru setahun kita memerintah, tiba-tiba dirampas dengan desakan Perhimpunan Agung UMNO. Biarlah peristiwa ini menjadi catatan sejarah dan tetap terpahat dalam ingatan rakyat. Jangan dikira siapa yang memerintah negeri, yang penting perjanjian mesti ditunaikan dengan adil. Tuan Yang di-Pertua, saya merasa hairan, mengapa petani-petani di Pantai Timur masih bergantung kemudahan baja dan makanan ternakan yang dibawa dari Pantai Barat dan selatan Semenanjung sehingga menaikkan kos yang membebankan mereka? Maka, keuntungan hasilnya tidak seberapa.
Mengapa kemudahan-kemudahan ini tidak diwujudkan di Pantai Timur? Adakah kita mahu mengekalkan geografi ekonomi yang dibentuk pada zaman penjajah dahulu, yang sengaja meminggirkan Pantai Timur? Tuan Yang di-Pertua, dalam menjana ekonomi, di sana terdapat tiga unsur yang penting. Tonggak aktiviti ekonomi berkisar dalam tiga perkara. Pertama, pertanian; kedua, industri; dan ketiga, perdagangan. Dalam bidang pertanian, sekurang-kurang hasil pertanian itu ialah memenuhi keperluan negara, khususnya dari segi makanan yang mencukupi. Setiap kali persidangan sejak beberapa tahun lalu sudah disebut mengenai perkara ini. Biarlah bahawa negara paling maju pencapaian dalam kemajuan industri tidak mengabaikan bidang pertanian. Itulah amalan keseluruhan negara maju, termasuk yang paling maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, dan Jepun sehingga menjadi kuasa besar, tetap melaksanakan program pertanian sehingga mencukupi keperluan negara dan lebih daripada itu, sehingga dapat membantu negeri yang mengalami bencana dan krisis makanan. Mereka berusaha ke arah pencapaian ini walaupun terpaksa berbelanja tanpa pulangan keuntungan yang besar. Hal ini kerana mereka menganggap bahawa ini adalah nadi kehidupan rakyat yang menjadi jentera penting bagi negara serta menjamin kehidupan ketika menghadapi bencana peperangan atau alam sekitar atau berbagai-bagai kegawatan yang mungkin berlaku. Mereka mengelak daripada menjadi negara peminta sedekah. Negara-negara yang maju itu sanggup menyediakan peruntukan yang besar. Perkara ini juga diucap setiap kali belanjawan. Mengapa belum lagi mencapai matlamat? Di manakah silapnya? Tuan Yang di-Pertua, mengapa kita tidak mengambil manfaat daripada bumi kita yang subur ini dan rakyat yang rajin. Menganggap rakyat pemalas adalah tidak benar sama sekali kerana rakyat kita sanggup keluar seawal pagi dan pulang selewat petang kerana bekerja. Kesilapannya ialah pengurusan dan kerenah-kerenah yang menyusahkan. Kerajaan berbelanja untuk rakyat, tetapi yang berlaku bukan rakyat didahulukan tetapi segelintir kroni yang diutamakan...
Saya minta penjelasan sedikit?
Ya.
Yang Berhormat Indera Mahkota.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Marang, saya mendengar dengan teliti banyak perkara yang dibangkitkan, tetapi hari ini ada satu laporan yang saya rasa semua orang terkejut. Ini kerana, selain daripada apa Yang Berhormat Marang beritahu tentang ada kepincangan dalam mengurus belanjawan kita yang disebut tadi, ini ada laporan yang dikeluarkan dalam The Star. Pandangan daripada Menteri Kewangan II sendiri yang mengatakan bahawa negara kita kehilangan atau mungkin kehilangan berbilion-bilion ringgit kerana peruntukan yang terlebih bayar, tersilap bayar dan sebagainya setiap tahun. Tahun ini disebut anggarannya mungkin melebihi RM20 bilion. Bagaimana pandangan Yang Berhormat Marang?
Terima kasih Yang Berhormat Indera Mahkota. Itu satu pendedahan yang berani tetapi mesti menunjukkan keberanian diikuti dengan susulan tindakan-tindakan yang sewajarnya. Iaitu sama ada bertindak terhadap mereka yang membocorkan itu atau dalam masa yang sama juga membetulkan keadaan. Saya berasa bimbang belanjawan akan mengalami perkara yang sama apabila peruntukan yang besar ini tidak sampai sepenuhnya kepada sasaran sebagaimana yang diucapkan. Ada baja subsidi yang dijual sahaja, tidak sampai kepada petani, sasaran dan tidak sampai kepada pokok. Subsidi yang tidak sampai kepada yang berhak atau sebahagiannya sudah dipotong di tengah jalan. Pukat subsidi diberikan kepada bukan nelayan, dijual untuk mendapatkan duit.
Kita berharap penguat kuasa akan dapat memantau dengan baik dan mereka yang menjadi penyamun di tengah jalan hendaklah diambil tindakan yang sewajarnya. Tuan Yang di-Pertua, peristiwa menjual minyak subsidi nelayan di laut hendaklah diatasi dengan serius kerana nelayan sebenarnya bukan penjual minyak. Mereka adalah sebahagian daripada keperluan makanan negara. Kadangkala nelayan kecil pula menghadapi nelayan yang lebih besar, yang menjadi masalah ialah sifat tamak haloba sehingga menggunakan alat yang menghapuskan benih ikan dan merosakkan alam laut. Saya dimaklumkan oleh pihak penguat kuasa taman laut, penyangak-penyangak ini dilindungi oleh ikan-ikan jerung besar di darat yang besar-besar, yang berada di sebaliknya adalah tokoh-tokoh yang tertentu. Semua hal ini adalah kerenah-kerenah yang menghalang bantuan kepada nelayan mencapai matlamat. Dalam bidang industri, bagi mencapai tahap negara maju, bidang industri menjadi peranan yang besar, mestilah mencapai kemampuan industri besar yang memenuhi keperluan dunia dalam segala bidang. Sama ada peningkatan diberi sendiri melalui R&D yang perlu dimajukan atau pemindahan teknologi melalui pelaburan asing. Dalam kerakusan menjemput pelabur asing, kerajaan haruslah berhati-hati, memilih pelabur yang bertimbang rasa, bukannya pelabur yang bakhil dan datang untuk menjajah kita sekali lagi atau yang mudah melarikan diri sebelum mencapai hasilnya. Selain itu, kerajaan juga hendaklah memilih industri yang benar-benar bermanfaat kepada semua pihak. Berwaspadalah terhadap negara asing yang membawa industri yang beracun, yang meninggalkan kesan alam sekitar yang merosak dan memusnahkan, yang sengaja dibawa ke sini untuk kepentingan mereka, yang mengorbankan rakyat kita sendiri. Membenarkan kedatangan pekerja asing juga dalam pelbagai bidang hendaknya jangan mengabaikan masalah pengangguran dalam negara sendiri kerana kesannya mengatasi keuntungan yang dicapai kerana memilih pekerja yang murah. Perbelanjaan mengatasi gejala yang lahir daripada kesan pengangguran rakyat lebih mahal daripada keuntungan menjemput pekerja asing. Tapis betul-betul untuk mendapatkan tenaga asing yang bermanfaat, bukannya mendatangkan mudarat. Dalam masa yang sama, kerajaan hendaklah bertindak terhadap mereka yang menzalimi pekerja asing dengan hukuman yang sekeras-kerasnya, bukan terhadap pekerja, tetapi terhadap majikan itu supaya memberi pengajaran. Jadikan pekerja asing itu tetamu yang dihormati kerana mereka berperanan menjana kemajuan negara. Tindakan terhadap mereka boleh menjejaskan hubungan kita dengan negara lain, khususnya dengan negara jiran dan boleh menjejaskan maruah negara. Tanah air kita ini mendapat kurnia Allah. Mengandungi sumber industri yang mewah, yang mewajibkan kita bersyukur. Di atas buminya mengandungi pelbagai jenis sumber galian, bahan mentah dan bahan tenaga. Daripada air yang mengalir di lurah bukit- bukau dan gunung-ganang serta gas petroleum yang menjadi sumber tenaga. Menepati firman Allah SWT [Memetik sebahagian ayat al-Quran daripada surah al- Waqiah]. Maksudnya, “Adakah kamu tidak melihat api yang kamu hidupkan melalui bahan- bahan bakar? Adakah kamu yang menjadikan bahan-bahan bakar? Termasuk kayu-kayu yang hidup boleh menyalakan api? Ataupun Kami yang menyalakan dengan ciptaan Kami? Kami jadikan untuk peringatan dan menjadi harta kepada mereka yang menjadikan bahan membina kekuatan”. Al-Quran telah membayangkan adanya tenaga elektrik, adanya bermacam- macam-macam tenaga daripada api sejak 1400 tahun yang lalu. Al-Quran sudah memberi peringatan kepada kita. Surah yang menjelaskan sumber rezeki, bukan sahaja api, termasuklah air serta sumber yang lain. Tidak cukup masa saya hendak tafsir semua kerana ini bukan kuliah agama... [Ketawa] Termasuk di dalam bahan api yang menjadi sumber tenaga penting dalam menjana pembangunan industri. Terpulang kepada kita sama ada mahu bersyukur dengan nikmat ini atau kufur dengan mensia-siakannya. Kita juga mempunyai tenaga mahir, tenaga kerja dan modal sendiri yang boleh dimanfaatkan. Jangan disia-siakan mereka menghabiskan masa di luar negeri tanpa berkhidmat kepada negara sendiri. Insentif-insentif sahaja tidak mencukupi tanpa menghapuskan kerenah birokrasi yang dihantui pengaruh politik yang salah, yang melambatkan kedatangan, kepulangan pekerja dan tenaga mahir kita sendiri.
Dalam bidang perdagangan dan kewangan, yang menjadi salah satu daripada tunggak ekonomi negara, amalan secara konvensional warisan barat yang dibejatkan oleh amalan dosa seperti riba’, monopoli dan sogokan masih berleluasa, walaupun ada tindakan undang-undang dan penguatkuasaan. Begitulah kesan teori ekonomi yang bertuhankan kebendaan tanpa perhitungan dosa dan pahala.Kenyataan dan ucapan belanjawan dengan tegas untuk bertindak ke atas ah long yang tidak berlesen menunjukkan keadaan masih parah. Dalam masa yang sama robohkan pagar makan padi yang hidup dengan rasuah daripada ah long-ah long.
Dalam masa yang sama kerajaan juga hendaklah berani bertindak terhadap ah long-ah long yang berlesen yang menyalahgunakan kekayaan untuk segelintir manusia. Islam mewajibkan konsep bertolong-menolong dalam aktiviti ekonomi. Saya mengulangi firman Tuhan yang dibacakan dalam mukadimah ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerana ia sebenarnya satu amaran keras supaya berlaku adil sesama manusia dalam menjana kekayaan. Firman Allah Taala, [Membaca sepotong ayat al-Quran Surah al-Zukruf Ayat 23] Maksudnya, “Adakah mereka yang membahagikan rahmat Tuhan mu. Kami yang membahagi di kalangan mereka, kehidupan mereka dalam kehidupan dunia dan kami angkatkan setengah mereka kedudukan daripada setengah yang lain supaya setengah yang lain mengambil manfaat daripada setengah yang lain dan rahmat Tuhan mu lebih baik daripada apa yang kamu kumpulkan.” Sebahagian manusia mengambil sebahagian yang lain, yang berharta mengambil faedah, tenaga dan khidmat daripada yang tidak berharta. Yang lebih banyak harta mengambil faedah yang kurang daripadanya. Mereka yang mempunyai modal kewangan yang banyak tidak dapat menyuburkan hartanya tanpa penglibatan mereka yang kurang harta dan tidak berharta tetapi ada ilmu, pengalaman dan tenaga. Begitulah yang kaya makan, minum dan berpakaian dan bekerja titik peluh petani, nelayan dan pekerja yang miskin mereka mempunyai kewangan yang banyak itu akan jadi membeku tanpa penglibatan pihak yang tidak ada wang. Industri kecil dan sederhana menjadi nyawa dan tenaga kepada industri yang lebih besar. Begitulah struktur yang diatur oleh Allah dalam kehidupan bermasyarakat dalam bidang ekonomi. Begitulah juga bidang-bidang yang lain di kalangan bangsa dan negara juga berbeza hasil produktiviti yang memerlukan bermasyarakat di peringkat antarabangsa. Ibnu Khaldun mengatakan, “Al insan madaniyun bi tabii” yang bermaksudnya, “Manusia itu bertamadun mengikut tabiat”. Tamadun berasal daripada Madinah, Madinah maknanya bandar. Bandar tempat manusia berkumpul. Tidak mungkin bagi seseorang manusia menghasilkan sehelai baju. Dia seorang yang tanam kapas. Dia seorang yang memintal benang, tunggu kapas masak dalam keadaan bertelanjang. Tidak mungkin dia semua. Dia yang tanam kapas, dia yang buat cangkul dan dia yang pintal benang. Tidak mungkin. Mesti ada pembahagian tugas di kalangan manusia yang ada jadi petani, nelayan dan peniaga. Mereka perlu berhimpun di bandar dinamakan Madinah. Mereka berkumpul di bandar untuk menukar di antara satu sama lain. Ini tamadun, bandar tempat berkumpulnya manusia. Hadarah, tempat hadirnya manusia berkumpul dan bandar meningkat kepada metropolitan. Hubungan antara satu bandar dengan bandar yang lain sehingga ke peringkat antarabangsa. Ini kehidupan tabii dalam masyarakat yang kita kena sedar. Oleh sebab itu rakyat yang termiskin adalah penyumbang kepada yang kaya. Kalau semua kaya tidak ada pekerja, adakah yang kaya itu hendak bekerja sendiri di kilang? Mesti ada yang miskin, mesti ada petani. Ini pembahagian yang mengandungi hikmat yang Tuhan buat. Yang penting ialah kita bertimbang rasa di antara satu sama lain. Mereka yang menipu, menindas, tamak, monopoli dan pelbagai cara negatif terhadap kegiatan pusingan harta dalam masyarakat adalah kalangan si zalim yang wajib dibanteras dalam masyarakat. Di sinilah hikmahnya Islam mengharamkan perkara-perkara tersebut yang disenaraikan sebagai perkara yang diharamkan seperti riba, ghorab, istihlal dan lain- lain.
Perkara yang dihalalkan pula lebih banyak. Sebenarnya teori ekonomi ciptaan manusia mengandungi unsur-unsur ini, unsur-unsur yang diharamkan. Mustahil ia dapat menyelesaikan masalah ekonomi. Walaupun mempunyai kekayaan yang melimpah ruah dan ramai yang bijak, inilah punca keruntuhan komunisme dan bermulanya keruntuhan liberal kapitalisme. Sama ada yang bersifat negara ataupun antarabangsa, negara komunis seperti China yang besar memecahkan ideologi mereka kepada ekonomi bebas. Barat yang terlalu bebas liberal kapitalisme dengan kerakusannya tanpa belas kasihan sedang memakan diri sendiri dengan kemelesetan ekonomi yang makin parah. Saya ingin menarik perhatian tentang kewangan Islam, aktiviti kewangan Islam seperti perbankan Islam yang mula menunjukkan peranannya hari ini hendaklah diberi ruang yang seluas-luasnya supaya mengambil alih secara konvensional bukan menumpang. Dalam masa yang sama hendaklah mewujudkan pengawal syariah yang benar-benar bebas dan adil serta ikhlas tanpa dipengaruhi anasir yang boleh merosakkan imej Islam yang sebenarnya. Lahirnya kesedaran kepada perlunya kewangan Islam menjadi alternatif mula berkembang dengan pesat sehingga ke peringkat dunia disebabkan oleh yang pertama: (i) kegagalan teori Barat yang berorientasikan kebendaan semata- mata sehingga melampaui keperluan rohani dan hilangnya mesra masyarakat. Pendekatan ini sangat bercanggah dengan naluri manusia sehingga menghilangkan kasih sayang di kalangan keluarga, bangsa dan sejagat; dan (ii) sentimen agama dan moral kembali kepada masyarakat termasuk di kalangan bukan Islam yang juga menentang, menzalimi dalam bidang ekonomi. Pencapaian yang melonjak cepat kepada kewangan Islam berlaku dengan pesat sehingga terkini berlaku pertumbuhan dan percambahan dalam bidang ini dilaporkan oleh media ekonomi sekarang sudah ditubuhkan 300 bank Islam dan institusi kewangan Islam di seluruh dunia diramalkan meningkat kepada 20 peratus dalam masa tiga tahun yang akan datang. Satu kajian melaporkan sistem ini dikendalikan oleh 173 mash’ul dalam bidang kewangan Islam mencecah kewangan sejumlah perhitungan trillion USD merupakan jumlah yang besar. Sebanyak 60 peratus umat Islam yang hidup dalam negara Barat dikatakan berminat kembali kepada kewangan Islam kerana mereka melihat sendiri kebejatan dan kemungkaran ekonomi Barat. Bagaimana dengan umat Islam sendiri? Mereka lebih wajar perlu kembali kepada sistem Islam. Peranan perbankan Islam hendaklah mengikut definisinya yang sebenar. Bukan sahaja tidak melakukan muamalah riba dalam aktiviti-aktiviti sempadan simpanan dan pinjaman dengan menjadi pengantara di antara mereka yang mempunyai wang yang menjadi penyimpan dengan mereka yang mampu mengembangkannya dalam aktiviti ekonomi melalui pinjaman yang diberi oleh bank. Dalam masa yang sama kegiatan ekonomi itu juga hendaklah dalam perkara-perkara yang halal dalam segala aspeknya dan memilih aktiviti ekonomi yang menjadi penyumbang kepada kehidupan rakyat seperti peranan dalam industri halal hub, program mengatasi masalah kemiskinan, melaburkan harta wakaf dan sebagainya. Aktiviti perbankan Islam hendaklah diluaskan dalam segala muamalah Islam. Jangan hanya membanyakkan dalam bidang bank Al-Bai` Bithaman Ajil sahaja. Muamalat kewangan Islam memerlukan R&D sebagaimana aspek-aspek yang lain kerana memerlukan pembaharuan, tajdid. Jangan menjadi jumud, tidak mampu menghadapi cabaran dan perkembangan semasa dalam bidang ekonomi dan kewangan. Di sini perlu diketahui pertamanya jangan hanya bergantung kepada sumber tradisi hanya kepada saham, hartanah dan kepada aktiviti yang sedia ada tanpa ciptaan baru yang bijak sehingga dapat berlumba dengan pihak-pihak lain. Kedua, institusi kewangan Malaysia jangan hanya bergantung kepada pelaburan negara teluk yang aktif dalam pasaran sukuk sehingga sekarang mencecah kepada USD47 bilion mengikut laporan al-Jazeera sehingga mencapai dua pertiga di pasaran sukuk dunia. Saya lihat melalui internet. Terima kasih kepada Parlimen kerana sempat baca di Parlimen untuk melihat internet.
Pencapaian yang hebat tetapi ingat kesempatan jangan dianggap kekal. Maka hendaklah diambil kesempatan ini bagi membantu sumber yang lain. Malaysia mencapai dua pertiga pasaran sukuk. Ini sangat hebat. Dua pertiga pasaran sukuk dunia berada di Malaysia dan kita bergantung pada sukuk. Kita ambil kesempatan untuk menjana ruang- ruang yang lain. Ketiga, jangan hanya terlalu jumud dengan muamalah Al-Bai` Bithaman Ajil sahaja sehingga seperti tonggak kepada bank Islam, tidak ada lagi yang lain. Di sana masih banyak muamalat yang perlu dilaksanakan seperti mudarabah, al-qira, Al-Qardul Al-Hasan, jual beli salam, jual beli bertangguh, jual beli bayar dulu barangnya tidak ada lagi. Pembeli sanggup menyebutkan sifat-sifat barang yang dihendaki oleh penjual, sanggup menyebut sifat-sifat barang dan melaksanakan sebagaimana dikehendaki oleh pembeli. Ini ada dalam kitab fikah, muzaraah yang berkait dengan membantu petani, musyarakah dan lain-lain hendaklah dikaji banyak lagi ruang-ruang bukan sahaja Al-Bai` Bithaman Ajil. Keempat, jangan hanya bergantung kepada simpanan kenaikan harga minyak, kelapa sawit, getah, bijih timah dan lain-lain. Perlu diperbanyakkan sumber-sumber yang lain.
Kelima, jangan hanya berkisar dalam menghasilkan wang yang banyak tanpa hasil barangan dan khidmat yang banyak kepada rakyat dan umat. Kalau duitnya banyak, makanannya tak ada, kenderaannya tak ada, kita tak boleh makan kedarah duit itu. Mesti ada barang dia, ada benda dia. Peranan perbankan Islam hendaklah dipanjangkan sehingga dalam perjuangan memerdekakan negara daripada penjajahan ekonomi melalui perbankan secara konvensional yang ada kaitan dengan rakan antarabangsa, yang hanya berfikir untuk mengambil faedah daripada kita dan tidak banyak memberi faedah kepada kita. Di sana wujudnya penyangak-penyangak kewangan di peringkat antarabangsa, peringkat nasional yang kerjanya tidak berkhidmat untuk negara dan rakyat, tetapi mengambil faedah untuk diri mereka sahaja tanpa bertimbang rasa. Kalangan ini termasuk dalam senarai yang dinyatakan di dalam firman Allah SWT... [Membaca potongan ayat al-Quran] Bermaksud, “Jangan lah kamu beri kepada orang-orang yang bodoh mengendalikan harta. Allah tidak menjadikan mereka tonggak kepada ekonomi”. Yang bodoh ini mengikut tafsir-tafsir yang lalu ialah kanak-kanak yang belum baligh, orang gila. Sekarang ini bukan sahaja kanak-kanak, bukan sahaja orang gila, termasuk juga orang yang bijak pandai tetapi menjadi penipu dan penyangak. Mereka juga adalah merupakan ancaman, merupakan orang yang bodoh di dalam tindakan. Sebenarnya penyangak-penyangak ini lebih sabik, lebih bodoh daripada kanak-kanak kerana kesan negatif kepada ekonomi lebih buruk dan parah bukan sahaja kepada negara bahkan diri mereka sendiri. Akhirnya orang tak percaya kepada mereka. Kegiatan kewangan Islam yang telah meneroka ke peringkat kalangan negara Islam hendaklah dimajukan ke arah membina kekuatan gagasan ekonomi yang membebaskan daripada belenggu penjajahan ekonomi. Sekurang-kurangnya diadakan usaha mukadimah menghasilkan mata wang di kalangan negara Islam dan serantau. Dinar yang pernah dicadangkan oleh Profesor Necmetin Erbakan bekas Perdana Menteri Turki dan Tun Mahathir sokong supaya tidak bergantung kepada Dolar Amerika yang kita tak tahu nilainya benar ataupun bohong. Kita tahu dia cap kertas sahaja. Kita tak tahu. Kita bergantung dengan media sahaja. Kita tak pergi periksa bagaimana dicetak Dolar itu. Tidak tahu ada salah atau tidak. Jangan kita tertipu. Oleh itu kita perlu ada mata wang sendiri. Mewujudkan kumpulan penasihat syariah dalam aktiviti kewangan Islam hendaklah dibentuk daripada ahli ilmu syariat yang berwibawa dari segi ilmu dan moralnya disertakan dengan profesional dalam ilmu duniawi dicampur di kalangan yang istiqamah. Bukan di kalangan yang tidak istiqamah. Dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Peranan panel penasihat ini sangat penting kepada pengamal kewangan Islam dan masyarakat. Mereka hendaklah diberi peranan di dalam tiga perkara:
(i) menterjemahkan muamalah Islam yang terkandung di dalam al- Quran dan hadis serta ijtihad para ulama yang terdahulu seterusnya menangani amalan kewangan terkini yang tidak ada di zaman ulama yang terdahulu secara berijtihad kerana Islam adalah agama yang hidup di sepanjang zaman; (ii) menjawab dan memberi penjelasan kepada semua pihak berkenaan dengan kewangan Islam. Sama ada yang datang ialah pengamal kewangan untuk meyakinkan mereka ataupun masyarakat umum yang berminat atau meragui ajaran Islam melalui aspek kewangan; dan (iii) meningkatkan keilmuan mereka yang terlibat dengan tugas ini supaya menjadi petugas yang berilmu dan faham dengan kewajipannya di dalam bidang kewangan atau meningkatkan lagi kepada yang sudah berpengetahuan. Dalam pelaburan asing yang menjana ekonomi. Dalam menggalakkan kedatangan pelaburan asing, sering kali terdedah kepada amalan rasuah, kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Amalan ini boleh mengundang padah membawa masuk pelabur yang merugikan negara dan rakyat. Kerajaan bukan sahaja perlu mewujudkan peluang-peluang yang bersifat kemudahan dari segi kebendaannya seperti tempat yang menggalakkan dan kemudahan asas yang mencukupi dan sempurna. Di sana sangat penting juga ialah pemindahan pengalaman dan teknologi kepada negara kita di samping memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri....
Tuan Yang di-Pertua...
Ya Yang Berhormat Taiping.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Marang dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Tadi Yang Berhormat Marang telah sebutkan tentang amalan rasuah. Malam semalam, sebuah jambatan yang baru dibina di Sungai Kampar runtuh dan akibatnya 22 orang pelajar nyaris-nyaris tenggelam dan sehingga pagi ini seorang telah meninggal dunia dan dua orang lagi masih hilang. Inilah angkara kemungkaran, penyelewengan yang telah berlaku kerana kita tahu ini bukan sahaja satu insiden. Jambatan yang baru dibina dalam tempoh dua minggu boleh runtuh dan kebetulan pelajar- pelajar sekolah rendah ini menghadiri kem 1Malaysia dan slogan 1Malaysia adalah, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’ Adakah Yang Berhormat Marang bersetuju terdapat begitu banyak kes sedemikian? Bangunan Perbadanan Negeri Perak yang menelan belanja RM4.9 juta runtuh sebelum OC dikeluarkan. Stadium di Batu Burok, Terengganu menelan belanja RM280 juta runtuh setelah kurang dari satu tahun dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di- Pertuan Agong. Bukan sahaja ini, masjid yang baru dibina di Jerantut Terengganu, runtuh juga. Ini adalah penyelewengan. Bersetujukah Yang Berhormat Marang di mana semasa penggulungan nanti kita mahu Yang Berhormat Menteri Kewangan memberi jawapan yang tegas, apakah yang akan berlaku? We want accountability and juga ketelusan pentadbiran supaya mereka yang bertanggungjawab mesti dihadapkan ke muka pengadilan demi membela rakyat. Sekian, terima kasih... [Tepuk]
Terima kasih Yang Berhormat Taiping kerana menambahkan ucapan saya dengan isu-isu yang dibangkitkan. Kita tidak mahu isu-isu penyelewengan kemalangan ini naik macam naiknya saham yang kita tulis sahaja dengan tidak ada apa-apa tindakan. Kita mahu supaya satu tindakan yang berkesan, yang benar. Banyak suruhanjaya, pasukan penyiasatan ditubuhkan tetapi hilang dalam lipatan fail... [Tepuk] Kita tahu, jadi dengan sebab itu kita mahu satu suruhanjaya bebas menyiasat kes-kes yang penting ini. Cadangan suruhanjaya diraja, suruhanjaya yang bebas. Dirajakah, apakah, yang bebas. Betul-betul bebas dan telus hendaklah dibentuk supaya kita menghapuskan penyakit-penyakit yang kalau dibiarkan menjadi barah dan ini juga boleh menjejaskan pelabur-pelabur asing datang. Dia pun takut naik jambatan, takut runtuh.
Jadi kita kena jagalah suasana negara yang stabil dalam segala bidang. Ini menggalakkan pelabur datang. Keadilan, perpaduan, keamanan dan keselamatan adalah penggalak utama kedatangan pelabur asing. Sejarah Islam di zaman kegemilangan tamadunnya mengundang kedatangan pengunjung dari seluruh pelosok dunia, daripada China, daripada Eropah, Timur Barat, Utara, Selatan. Ibu kota negara Islam bertaraf metropolitan daripada Madinah sehingga Dimas ataupun Damsyik, Baghdad, Mesir, Andalus, India, Melaka, Pasai, Acheh, Betawi dan lain-lain. Melaka sebenarnya perkataan Arab, ‘Maalaqa’. “Maalaqa’ tempat pertemuan pedagang-pedagang tetapi saya diajar di sekolah rendah zaman penjajah dahulu, Melaka ini pokok melaka. Sengaja mereka hendak lupakan kita kepada tamadun kita yang sebenar. Saya melawat Sepanyol. Di Sepanyol ada bandar ‘Maalaqa’, ‘Maalaqa’. ‘Maalaqa’ daripada Malqa. ‘Maalaqa’ tempat pertemuan pedagang-pedagang. Melaka bersifat metropolitan, bukan taraf Melaka sahaja. Macam hari ini, Melaka sahaja. Sedikit sahaja yang datang. Kita mahu supaya ini dikembalikan di mana dimeriahkan oleh pedagang-pedagang daripada Timur dan Barat. Daripada China sehingga Eropah memaksa kuasa penjajah Barat yang hasad dengki melancarkan perang Salib dan gerakan meredah penerokaan untuk perdagangan bersifat penjajahan dan menawan rakyat tempatan dijadikan hamba abdi sehinggakan menjadi sejarah hitam kepada dunia. Biarlah kita kembalikan semangat kerjasama dan setia kawan masyarakat antarabangsa dengan semangat kasih sayang dan bertimbang rasa di kalangan manusia, bukan tindas menindas dan mencari kesempatan diri tanpa peduli hak bangsa lain, orang lain. Kita perlu berwaspada dengan konsep globalisasi ekonomi dunia tanpa sempadan yang ditaja oleh Barat. Kalau tersilap langkah maka terperangkap kepada konsep penjajahan ekonomi secara moden yang menjejaskan kehidupan kita. Akhlak mulia yang diajar oleh Islam dalam aspek perdagangan sebenarnya boleh memikat hati pelabur asing di samping perniagaan barang halal menjadi minat masyarakat bukan Islam juga kerana halal itu bersih dan tidak berpenyakit. Yang haram itu bukan sahaja berdosa, ia tetapi juga membawa penyakit di dunia. Keadaan terkini menunjukkan benarnya kenyataan ini. Firman Allah SWT... [Membaca sepotong ayat al-Quran dari surah As-Sajdah] bermaksud, “Dan kami rasakan kepada mereka sebahagian azab yang sedikit di dunia dengan perkara- perkara haram sebelum lagi mereka bertemu dengan azab yang lebih besar. Mudah- mudahan mereka kembali kepada yang benar”. Perkhidmatan penerbangan MAS jangan lagi menghidangkan arak. Kalau merokok boleh dilarang, mengapa arak yang jelas haram dan lebih berbahaya dari dadah dan rokok tidak diharamkan? Di sana sudah banyak syarikat penerbangan seperti Arab Saudi, Iran, Brunei tidak menghidangkan arak. Apa salahnya kita buangkan arak itu daripada MAS? (cid:1)(cid:1)(cid:1)(cid:1)
Kalau ada bangsa yang hendak minum arak, bukan tempat dalam kapal terbang dia minum, dia boleh minum di tempat-tempat lain. Kita tidak halang penganut agama lain boleh minum arak tetapi dalam penerbangan ini mesti menunjukkan satu keberkatan. Antara terpenting dalam membangunkan perpaduan rakyat dan keamanan merupakan perkara penting bagi negara. Wujudnya masyarakat pelbagai kaum di dalam negara hendaklah dilihat dari segi positifnya yang mengandungi hikmah yang besar. Sekiranya diolah dengan sesama, itulah ciptaan yang bijaksana. Firman Allah SWT; [Membaca sepotong ayat Al-Quran] yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain dan yang paling mulia di kalangan di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa. ” Islam mengajar kita daripada Allah pencipta alam termasuk manusia bahawa manusia yang banyak bangsa dan bahasa ini adalah daripada satu keturunan iaitu Adam dan Hawa.
Walaupun mereka berbagai-bagai tetapi naluri mereka hendaklah hidup bermasyarakat. Bukan sahaja di peringkat kampung dan negeri, bahkan di peringkat antarabangsa yang mewajibkan mereka mengambil faedah di antara satu sama lain bagi mentadbir dunia dengan pelbagai kebolehan masing-masing yang perlu digabungkan secara bertamadun atau berhadarah. Di sana ada negara minyak, ada negara pertanian, ada negara industri, ada negara yang bermacam-macam hasil, maka hendaklah wujud kerjasama bermasyarakat di peringkat antarabangsa. Sepatutnya undang-undang Allah SWT dalam perkara yang akal manusia lemah menerokainya, dalam masa yang sama menggunakan akal masing-masing dengan bijaksana. Kita kembali kepada Islam yang memandu akal manusia namun kita tidak boleh memaksa kerana di sana ada ruang-ruang akal yang diakui bersama, pengakuan bersama tidak dapat dimanfaatkan sekiranya tidak ada perpaduan di kalangan manusia. Di sana ada titik persamaan yang tidak boleh dihapuskan di kalangan semua manusia yang berakal, keperluan hidup dan bekerjasama menegakkan keadilan, menentang segala bentuk kezaliman, mengambil yang berfaedah dan menolak yang mudarat. Ini adalah perkara persamaan tanpa mengira bangsa dan agama.
Yang Berhormat Marang sebentar ya, ada pengumuman. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya ingin memaklumkan kehadiran beberapa anggota Parlimen Scout daripada Korea datang bersama-sama kita pada tengah hari ini. Parlimen ini merakamkan ucapan selamat datang kepada mereka... [Tepuk] Teruskan Yang Berhormat.
Terdapat banyak teori yang membawa konsep perpaduan. Ada yang berkonsepkan satu bangsa sahaja, ada pula yang mengambil pendekatan melalui ekonomi, ada juga yang berkonsepkan satu wilayah negeri. Mungkin teori inilah yang menimbulkan slogan 1Malaysia. Sejarah telah membuktikan kesemua konsep ini gagal walaupun di kalangan satu bangsa, satu negara dan satu agama, bahkan satu parti pun kerana manusia itu mempunyai naluri yang tersendiri, berbeza dengan makhluk yang lain. Mereka bukan sahaja ada jasad yang memerlukan ekonomi, mereka mempunyai roh dan hati nurani dan akal yang memerlukan akidah, ilmu dan akhlak walaupun berbeza tetapi ada cara pendekatan melalui konsep yang diterima oleh semua agama dan bangsa iaitu berlaku adil kepada semua dan memberi hak kepada semua. Tidak menjadi salah berlaku sayang kepada bangsa masing-masing. Yang salah berlaku zalim terhadap bangsa lain.Tidak salah Melayu sayang pada Melayu, Cina sayang kepada Cina, India sayang kepada kaum India, Iban kepada Iban, Kadazan kepada Kadazan, tidak salah. Mereka bela kaum mereka, pertahankan kaum mereka dari dizalimi, tidak salah. Apa yang salah ialah kita bela kaum kita, kita zalimi kaum lain, ini yang salah, ini yang tidak betul. Kita bela kaum kita kerana kita tidak boleh hapus bangsa-bangsa ini. Bangsa-bangsa ini ciptaan Tuhan, tidak boleh dihapus, tidak boleh dilenyapkan dengan mudah. Yang penting ialah kita menjaga hati dengan cara yang berbeza. Maka Allah SWT mengingatkan; [Membaca sepotong ayat al-Quran] yang bermaksud, “Janganlah sebab kamu bermusuh, benci terhadap sesuatu kaum, lalu kamu zalim terhadap kaum itu. Berlaku adillah, adil itu lebih hampir kepada takwa, taat kepada Tuhan. ” Keselamatan dan keamanan juga penting dalam menegakkan negara. Dalam masyarakat umum hari ini menimbulkan rasa keresahan kerana tidak selamat dan tidak aman disebabkan merebaknya jenayah berat dan ringan, undang-undang tidak digeruni, pihak polis pula hilang kehebatan. Kadang kala mereka sendiri juga tidak selamat. Pihak kerajaan mestilah membuat perubahan mengembalikannya kehebatannya secara mendidik rakyat. Langkah pencegahan sebelum terlibat dengan jenayah adalah terbaik. Undang- undang juga perlu diganti, jangan berterusan dalam kesilapan. Media-media cetak dan elektronik hendaklah dikaji supaya tidak mendedahkan pendidikan moral yang meruntuhkan.
Jangan berterusan dalam kesilapan kerana kembali kepada yang betul adalah lebih baik daripada berterusan dalam kesalahan. Jangan biarkan jenayah membunuh dan merompak lebih merebak dan membesar. Pencuri dan penipu menaik taraf menjadi perompak, diganti dengan pencuri dan penipu yang bertambah. Kembalilah kepada syariat Islam ciptaan Allah SWT yang berhubung dengan menangani masalah jenayah kerana undang-undang Islam lebih bersifat mendidik daripada menghukum. Qisas dan hudud, terlalu banyak syaratnya bagi dilaksanakan. Ada ruang lingkup undang-undang ta’azib yang diserah mengikut kebijaksanaan akal terlalu luas. Undang- undang ini tidak memaksa penganut bukan Islam, terserah kepada mereka sendiri, undang- undang yang mereka pilih. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Bermaksud, “Jika sekiranya mereka datang menemui kamu, hukum mereka di kalangan mereka dengan hukum mereka ataupun biarkan mereka hukum mereka sendiri. Kalau kamu membiarkan mereka, mereka tidak memberi apa-apa mudarat sedikit pun terhadap kamu dan jika sekiranya kamu menghukum mereka hendaklah dengan adil, sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang adil”. Buangkan sangkaan negatif terhadap syariat Islam seperti anggapan akan ramai orang-orang yang dihukum dengan keras apabila dilaksanakan. Sebenarnya apa yang berlaku ialah kadar jenayah akan turun dengan cepat dan mendadak kerana kehebatan undang-undang dan pertolongan daripada Allah SWT. Di antaranya diperkenalkan hukum qisas dalam masalah kemalangan jalan raya. Hukum qisas ini bukan sahaja berkait dengan pembunuhan, membunuh atau sebagainya, termasuklah pembunuhan tidak sengaja, kemalangan jalan raya. Allah SWT menyebut... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] bermaksud, ”Dan bagi kamu dalam hukuman qisas itu membawa kehidupan. Hukuman qisas yang menghukum kesalahan-kesalahan yang tidak sengaja”. Dengan hukuman yang bersifat moral sama ada bayar ganti rugi ataupun dia suruh bagi orang Islam berpuasa dua bulan berturut-turut dan berbayar hukuman yang boleh dikaji bukan dengan penjara. Penjara kadang-kadang membawa kesan yang negatif. Suami di penjara, isteri dan anak menjadi masalah sosial pula. Ini perlu kita fahami dengan betul. Merebaknya jenayah di negara barat yang mencipta undang-undang yang gagal itu sepatutnya dijadikan iktibar supaya kita kembali semula kepada Islam. Benarlah firman Allah SWT... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Bermaksud, “Telah zahir kebenaran darat dan di laut oleh sebab telah zahirlah kemusnahan dan kejahatan di darat dan di laut dengan sebab kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia supaya dirasakan kepada mereka sebahagian perbuatan mereka, mudah-mudahan mereka kembali kepada yang benar.” Media melaporkan kadar jenayah mengikut perhitungan kadar seminit di negara Barat. Jenayah masuk ke sekolah peringkat rendah dan berlaku di kalangan keluarga. Tanda-tanda kecil juga mula berlaku di negara kita, bermukadimahkan gejala dadah, media tanpa kawalan yang baik. Penyebaran penyalahgunaan dadah tidak menunjukkan penurunan yang mampu membasminya sehingga menjadi wabak menyeluruh di kalangan setiap kampung dan keluarga. Sehingga ke dalam lokap masuk dadah, dan penjara juga masuk dadah menunjukkan undang-undang yang keras seperti hukuman mati mandatori terhadap pengedar tidak memberi kesan yang boleh membanteraskan. Puncanya ialah kerana undang-undang ciptaan manusia yang tidak berteraskan iman tidak mampu mengatasi wabak jenayah yang menjadi ibu yang melahirkan berbagai- bagai jenayah yang lain...
Mohon penjelasan sikit.
Adalah malang bagi negara yang lebih banyak melahirkan peserta pusat serenti yang berlipat ganda jumlahnya daripada pelajar universiti atau lebih banyak melahirkan banduan daripada graduan. Marilah bertindak cepat, meninggalkan pendekatan yang gagal dengan memilih pendekatan yang baru yang lebih berkesan. Tuan Yang di-Pertua, kita memerlukan islah demokrasi. Kita menerima konsep demokrasi berparlimen dengan amalan pilihan raya bagi memilih kerajaan dan pemimpin negara di peringkat negara dan peringkat negeri.
Walaupun ianya datang daripada barat yang menjajah kita tetapi ianya adalah satu kebijaksanaan sekiranya dikendalikan dengan betul dan adil. Perubahan demokrasi purba kepada demokrasi moden yang dipengaruhi oleh ilmu fikah politik Islam. Melalui pengajian orientalis pada zaman berlakunya hubungan kebudayaan timur dan barat, melalui tamadun Islam mereka mengaji kitab-kitab, Al-Ahkam As-Sultaniyyah, karangan Al-Mawardi dan Abu Ya’la. Mereka menulis Siasah Syariyyah, Ibnu Taimiyah, Turuq Hukmiah, Ibnu Qayyim, mukadimah Ibnu Khaldun dan banyak kitab-kitab fiqah Islam yang berkait dengan politik. Inilah yang memodenkan demokrasi di barat, Pas menerima sistem ini walaupun masih banyak kelemahannya. Tidak berputus asa dalam usaha mengajak para islah mengatasi kelemahan dan mencari yang terbaik dan adil. Demokrasi tidak cukup dengan hanya mengadakan pilihan raya tanpa undang-undang dan sistem yang adil dan telus. Amalan demokrasi yang bertujuan supaya rakyat sentiasa berada di bawah kerajaan yang adil dan bijak kerana pemimpin dan parti yang memerintah mesti mengalami kelemahan, ia menjadi sifat makhluk termasuk juga makhluk manusia yang berakal ini. Sistem yang mengekalkan satu parti memerintah selama-lamanya. Walaupun mengalami kelemahan, adalah bercanggah dengan matlamat demokrasi yang sebenar.
Yang Berhormat, sambung petang nanti Yang Berhormat.
Ya.
Ahli-ahli Yang Berhormat, mesyuarat ini ditangguhkan hingga pukul 2.30 petang nanti. Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.01 petang. Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang. [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Silakan, Yang Berhormat Marang. Panjang lagi Yang Berhormat?
Pendek sahaja. Sedikit sahaja. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, masih banyak perkara yang meragukan dari segi kebebasan dan hak ketelusan dan keadilan dalam pilihan raya di negara kita. Masih banyak perkara yang memberi ruang untuk menipu dan tidak berlaku adil. Masih berlakunya amalan undi pos kepada mereka yang tidak perlu lagi mengundi pos. Nama yang bertindih. Orang-orang mati yang masih ada dalam senarai pengundi. Nama-nama yang tidak ada dalam kawasan pilihan raya dan lain-lain. Tuan Yang di-Pertua, demokrasi termasuk juga media. Mereka sepatutnya diberi peranan bagi menghidupkan demokrasi sebenar. Kalau rakyat menjadi hakim melalui undi maka media adalah saksinya. Bagaimana rakyat boleh menjadi hakim yang adil kalau hanya mendapat maklumat sebelah pihak sahaja? Meluaskan ruang media dengan seluas- luasnya kepada parti yang telah menjadi kerajaan dan memberi ruang yang sempit kepada parti-parti pembangkang adalah demokrasi yang zalim dan mengheret rakyat supaya membuat keputusan tanpa maklumat yang sebenar. Bukan masalah berebut kuasa sahaja yang sememangnya wujud dalam kehidupan manusia berebut kuasa. Bahawa kerana ianya berlaku dalam satu hati dan satu kelompok tetapi biarlah ia bersifat berlumba-lumba untuk berkhidmat kepada negara dan umat dengan cara yang beradab dan berakhlak. Sepatutnya kita merasa malu kepada negara-negara maju yang beramal dengan demokrasi yang baik seperti di Amerika, Eropah dan di negeri Asia seperti Jepun. Pemimpin mereka menunjukkan maruah yang tinggi. Bersedia menerima hukuman rakyat sekiranya mereka lemah atau melakukan kesilapan. Ada pun kita lebih jumud untuk bertahan di atas kerusi pemimpin dengan apa cara sahaja.
Sebenarnya inilah di antara penyakit yang dialami oleh negara ketiga yang sedang membangun dan tidak bangun-bangun menjadi negara yang maju. Selagi tidak ada istilah demokrasi maka kita akan tetap di tahap yang lama, hanya berubah pasang surut yang tidak membina kewibawaan negara. Pihak SUHAKAM telah mengemukakan cadangan- cadangan perubahan yang pernah dibentangkan secara bertulis. Apakah jadinya cadangan itu wallahualam. Sepatutnya dibahaskan di Parlimen ini demi kebaikan negara dan rakyat. Tuan Yang di-Pertua, di abad yang lalu negara kita mengalami tragedi kehakiman yang memalukan dan berterusan mundur sehingga badan kehakiman kehilangan maruah dan tidak dihormati kerana adilnya tetapi dihormati kerana takutkannya. Nabi Muhammad SAW menyatakan keadaan ini menjadi sebab kejatuhan sesuatu tamadun... [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Dimuliakan seseorang kerana takutkan kejahatan bukan kerana kebaikan dan kerana kemurnian budinya”. Bidang ini sangat besar pahalanya sekiranya dikendalikan dengan baik dan celakalah akibatnya kalau berlaku kesilapan yang sengaja diatur. Tidak ramai yang bersedia menerima teguran. Yang tidak ramai inilah yang terbaik. Sabda Nabi SAW... [Membaca sepotong hadith] ”Hakim itu ada tiga jenis. Dua jenis dalam neraka dan satu jenis dalam syurga. Seorang yang mengetahui yang benar, ia menghukum dengan cara yang benar itu ke syurga. Seorang hakim yang mengetahui yang benar, ia tidak menghukum dengan benar dan dia zalim, itu ke neraka. Hakim yang jahil, yang bebal menghukum dengan jahilnya juga ke neraka.” Kepimpinan negara hendaklah berani membetulkan keadaan supaya meninggalkan jawatan secara berbudi kepada negara dan rakyat kerana tidak selama- lamanya memegang jawatan yang ada. Seterusnya saya beralih kepada pencegahan rasuah. Amalan rasuah dikira di kalangan dosa yang besar kerana akibatnya memberi keburukan kepada pentadbiran negara. Allah meletakkan amalan rasuah harta semua yang terlibat adalah mendapat laknat Allah dan ke neraka kalau tidak bertaubat sebelum mati. Firman Allah SWT... [Membaca sepotong ayat al-Quran] yang bermaksud, “Jangan kamu makan harta-harta di kalangan kamu secara haram dan kamu bawakan harta itu kepada pemerintah supaya kamu makan di kalangan kamu dengan cara yang tidak betul dalam keadaan kamu mengetahui”. Sabda Nabi Muhammad SAW [Membaca sepotong ayat al-Quran] -“Allah Taala melaknat yang memberi rasuah dan yang menerima rasuah.” Sabda Nya lagi... [Membaca sepotong hadith] “Yang memberi rasuah dan menerima rasuah, dua-dua dalam neraka”. Kegagalan usaha menangani rasuah kerana fahaman sekular yang menganggap dosa pahala dalam perkara ibadat sahaja. Apabila di luar daripada skop ibadat maka tidak ada lagi perhitungan dosa pahala. Sikap ini juga menjadi kefahaman kepada pihak yang melaksanakan undang-undang dan penguat kuasanya. Banyak kes-kes yang berskala besar hilang dari lipatan rakyat. Di sana perlunya masalah pemisahan kuasa. Kecelaruan berlaku sebenarnya apabila sistem pemerintahan tidak berkonsepkan pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan judiciary. Pembuat dasar, pentadbir dan kehakiman. Maka berlakunya campur tangan tanpa batasan dan tidak kena pada tempatnya atau kerana kepentingan tertentu sehingga menjejaskan urusan di antara satu sama lain. Menjadikan hakim tidak selesa. Pentadbir dirobotkan dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin. Di dalam bidang penswastaan. Dalam keghairahan untuk meringankan bebanan kerajaan, dalam menangani pengendalian ekonomi maka konsep penswastaan di amalkan. Akan tetapi ingat, di sana ada beberapa perkara yang menjadi kepentingan umum yang haram disalahgunakan. Sabda Nabi Muhammad SAW... [Membaca sepotong hadith] “Manusia itu bersama dalam tiga perkara; air, api dan padang ragut”. Perubahan yang berlaku dalam pusingan hidup masyarakat menjadikan manusia berdepan dengan keperluan yang bertambah. Pada zaman ini keperluan pendidikan, kesihatan dan perhubungan sudah menjadi keperluan umum.
Maka kerajaan telah mengambil tanggungjawab bersama dengan pihak swasta dengan pengawasan juga terhadap penswastaan dalam keperluan tersebut supaya tidak memaksa mereka yang tidak bernasib baik dengan sebab kemiskinan, kecacatan dan lain- lain. Dalam bidang alam sekitar dunia juga sedang berdepan dengan krisis alam sekitar sehingga ke peringkat global berpunca daripada kerakusan manusia yang mengejar pembangunan sehingga melanggar batas perancangan yang betul, sehingga merosakkan aliran sungai oleh pembalakan dan lain-lain. Menimbus paya bakau dan tidak bakau tanpa batasan. Menarah bukit sesuka hati, meneroka laut tanpa batasan lalu merosakkan cuaca dan peredaran musim, merosakkan perubahan cuaca dan struktur bumi yang membawa penyakit diri sendiri, bencana alam di sana sini.
Biarlah kita sendiri menunaikan tanggungjawab di tanah air kita sendiri, walaupun negara lain menjadi sebab yang lebih besar, khususnya negara besar yang lebih besar merosakkan alam sekitar. Ini adalah firman Allah Taala... [Membaca sepotong ayat al- Quran] “Telah zahir keburukan di darat dan di laut, hasil kerja yang dilakukan oleh tangan- tangan manusia sendiri, supaya dirasakan sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah- mudahan mereka kembali kepada yang benar.” Dalam isu luar negeri, kita juga tidak boleh memisahkan diri dengan masyarakat antarabangsa, khususnya dengan negara sahabat dan jiran. Berasaskan keadilan sejagat dan hak yang benar pada semua bangsa di dunia. Masalah Palestin masih menjadi ancaman kepada keamanan dunia, kerana satu bangsa yang merampas hak bangsa lain berasaskan sejarah laku dan agenda penjajahan dan kezaliman oleh golongan Zionis, dibantah sendiri kaum Yahudi yang berpegang kepada agama Yahudi sebenar. Saya sendiri sama-sama hadir dalam satu conference di Iran dengan Tuan Yang di-Pertua, di mana persidangan Palestin dihadiri oleh orang-orang Yahudi sendiri yang... ortodoks, menentang penubuhan dan kezaliman negara Israel. Apa yang menjadi masalah ialah golongan Zionis yang mempengaruhi ekonomi dunia dan mempengaruhi percaturan politik dalam negara yang lebih besar. Rakyat Palestin pula yang dikorbankan, tanah air dirompak dengan bantuan kuasa-kuasa besar itu selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua. Seterusnya bersambung sehingga kini, adalah tidak adil mereka yang berpihak kepada Zionis menjadi perantaraan untuk kedamaian. Bagi umat Islam, di Palestin terletaknya Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam, berakhirnya Israk mulanya Mikraj Nabi Muhammad SAW. Adalah sangat melampau golongan Zionis itu berusaha untuk merampas dan merobohkan Masjid Al-Aqsa untuk mendirikan rumah ibadat mereka. Mengikut dakwaan mereka pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. sebagai permulaan bagi mengembalikan kerajaan menakluki dunia. Peristiwa membakar Masjid Al-Aqsa yang berlaku di akhir tahun 60-an mencetuskan umat Islam menubuhkan OIC, Malaysia juga hendaklah meluluskan peranannya dalam pertubuhan ini supaya menjadi lebih perkasa untuk negara-negara umat Islam menghadapi cabaran, menjaga kedaulatan mereka. Persidangan Pendeta Yahudi yang telah diadakan pada hari Ahad yang lalu iaitu pada 25 Oktober, telah membuat keputusan untuk menceroboh Masjid Al-Aqsa dan mendirikan lambang mereka di dalam masjid. Ini satu ancaman, saya mencadangkan supaya kerajaan kita berusaha untuk mengadakan sidang tergempar OIC. Bertujuan untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang sedang menghadapi keadaan yang lebih bahaya daripada peristiwa pembakaran Masjid Al- Aqsa yang membawa kepada penubuhan OIC yang lalu, kerana sekarang ini beberapa kumpulan Arab Islam dan juga Kristian Palestin sedang berhadapan dengan keganasan Israel yang telah menceroboh Masjid Al-Aqsa. Pergolakan yang berlaku di Afghanistan dan melarat pula ke Pakistan dan huru- hara di Iraq yang belum selesai adalah akibat campur tangan kuasa besar. Sebenarnya bukan kerana menjaga keamanan tetapi untuk menguasai sumber tenaga yang ada di rantau itu, dan bukannya menentang keganasan. Marilah kita bersama dengan kalangan yang sebenarnya, mempertahankan tanah air bagi menentang penjajah.
Islam dilabelkan dengan pengganas, di sana berbeza antara Islam yang sebenar dan orang Islam yang jahil dengan hukum Islam. Kejahilan bukan sahaja berlaku di kalangan orang Islam, terhadap agama lain dan berlaku juga kejahilan dalam agama lain, sehingga berlakunya segelintir yang melampau oleh tindakan pihak asing yang melampau. Melampau kerana melampaunya puak asing, puncanya. Keadaan ini berlaku juga di kalangan penganut agama lain seluruh dunia. Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, marilah kita laksanakan kewajipan bersama melalui Parlimen ini, dengan penuh rasa tanggungjawab. Apa yang baik kami sokong dan apa yang tidak baik kami tegur supaya menjadi nasihat yang tidak akan sia-sia oleh kerajaan, sekian terima kasih.
Yang Berhormat Jasin.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya bangun untuk mengambil bahagian membahaskan Belanjawan 2010. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan kerajaan membentangkan bajet tahun 2010 yang cukup bermakna walaupun kita terpaksa menghadapi keadaan yang sangat sukar sekali. Akan tetapi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah membuktikan kehebatannya dengan menggariskan strategi baru bagi meningkatkan kecekapan kerajaan dan kecekapan ekonomi negara. Meneruskan agenda memelihara kesejahteraan rakyat semua kaum, selaras dengan konsep 1Malaysia. Beliau telah menunjukkan kesungguhannya dengan mencadangkan sejumlah RM191.5 bilion diperuntukkan bagi tahun 2010 berbanding dengan peruntukan yang disemak sebanyak RM215.7 bilion pada tahun 2009. Satu penjimatan kos yang cukup ketara sekali iaitu sebanyak 11.2 peratus lebih rendah daripada tahun 2009. Dengan lain perkataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ingin memastikan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan itu, benar-benar memberi impak maksimum iaitu dengan izin, value for money. Jumlah hasil kutipan kerajaan pula bagi tahun 2010 dianggarkan berkurangan sebanyak 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion berbanding dengan RM162.1 bilion pada tahun 2009. Iaitu dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan defisit bagi tahun 2010 adalah lebih baik pada paras 5.6 peratus sahaja daripada KDNK berbanding dengan 7.4 peratus pada tahun 2009. Saya sebenarnya telah mengikuti perbahasan daripada awal, semua ucapan daripada pihak pembangkang, nampaknya daripada awal sehingga akhir terus mengkritik kerajaan. Sekurang-kurangnya mana yang baik kita berikan kepujian supaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri diberikan semangat baru dalam keadaan yang cukup sukar ini. Kita sebenarnya dalam keadaan penjimatan, walaupun sebenarnya prospek bagi pemulihan ekonomi negara kita kelihatan cerah, sebenarnya negara kita masih memerlukan rangsangan fiskal untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dan pada tahun depan. Persoalannya, saya ingin penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, jika belanjawan kita pada tahun ini sebanyak RM191.5 bilion, adakah ianya termasuk jumlah rangsangan sebanyak RM5 bilion yang diperuntukkan seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat semasa membentangkan Pakej Rangsangan Kedua yang lalu. Kalau tidak dimasukkan, belanjawan kita akan terus membesar dan juga mengakibatkan defisit kita terus melebar. Tuan Yang di-Pertua, ekonomi kita telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan kecuali kalau wujud sebarang perkembangan-perkembangan negatif daripada pihak global. Manakala pakej rangsangan kita maknanya semasa, telah menunjukkan hasil yang cukup dikehendaki, terutamanya daripada pengguna persendirian yang cukup mengembang pada ketika ini. Selepas itu ekonomi dunia pula dengan izin, begitu fragile sekali. Sekiranya pemulihan yang kita harap-harapkan tidak menjadi, soalannya adakah kerajaan telah bersedia daripada segi kemampuan kewangan kita dan minda rakyat itu pula, untuk kita sama-sama menangani krisis ini? Dalam perkataan lain adakah kerajaan bersedia untuk menyuntik rangsangan ketiga.
Kita bukan saja mengamalkan dasar kapitalisme, tetapi pada masa yang sama kita mempunyai ekonomi yang terdedah kepada dunia luar iaitu dengan lain perkataan kita sangat-sangat bergantung kepada permintaan luar. Justeru itu, apa juga yang baik dan apa juga yang buruk berlaku di global, ianya mempunyai impak secara terus kepada ekonomi kita. Sepatutnya kita mesti mengurangkan kebergantungan kita pada pasaran-pasaran tradisi misalnya daripada Jepun ataupun Amerika Syarikat.
Kita sepatutnya mempelbagaikan produk-produk yang kita hasilkan dan seterusnya kita mestilah memperluaskan pasaran kita misalannya di negeri China, India, Brazil dan Timur Tengah. Tuan Yang di-Pertua, dalam keadaan ini, dalam suasana ekonomi dunia yang amat mencabar, sumber ekonomi yang cukup terhad, jadi kerajaan perlu mengimbangkan keperluan hasil yang terhad dan janganlah hendaknya kita menjejaskan prestasi perkhidmatan awam serta mengharapkan supaya penjawat awam akan terus meningkatkan produktiviti serta melaksanakan projek yang dirancang mengikut jadual. Perkara paling penting dalam bajet ini yang saya lihat ialah menuntut anjakan minda dan pembabitan anggota masyarakat dalam mengaplikasikan modal ekonomi baru bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi dan mengutamakan pencapaian NKRA serta KPI.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jasin. Saya bersetuju Yang Berhormat yang pertama apabila Yang Berhormat mengatakan pihak pembangkang langsung tidak menunjukkan rasa apresiasi kepada inisiatif-inisiatif baik yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan kita seolah-olah hanya mereka yang membentangkan bajet yang ada check and balance sedangkan kalau kita lihat apa yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan sudah siap segala-galanya intact semak dan perimbangan itu tadi. Kedua Yang Berhormat apabila Yang Berhormat menyebut tentang kita tidak boleh hanya mengharapkan kepada pegawai awam untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan supaya kita dilihat lebih menarik di mata global. Yang Berhormat, saya perlukan penjelasan di situ bagaimana pula dengan sebuah negara kecil yang berada di selatan negara kita yang kita tahu mereka ketiadaan sumber, tidak ada sebarang sumber asli dan sebagainya tetapi mereka berada di persada antarabangsa dunia mengiktiraf mereka sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem perkhidmatan yang cekap dan berkesan sehingga kalau ada produk sumber asli dari negara kita pun, dijenamakan dengan nama mereka lebih laris daripada kita memasarkannya sendiri di peringkat antarabangsa dan pernah satu ketika dahulu rambutan kita pun di gelar laici Singapura. Jadi di mana Yang Berhormat kata kita tidak boleh mengharapkan hanya pegawai awam sedangkan di Singapura itu pegawai awam merekalah yang telah menjadi satu faktor kejayaan yang paling kritikal di dalam packaging atau di dalam perkhidmatan disediakan di negara tersebut. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya ingin mencelah sedikit, lanjutan daripada apa yang dipersoalkan oleh Yang Berhormat Tangga Batu tadi iaitu tentang apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Bagan semalam yang memperkecilkan tentang pencapaian ekonomi negara kita dengan mengatakan bahawa negara kita mengalami defisit ekonomi yang teruk malah dibandingkan dengan Indonesia bahawa Indonesia lebih baik. Jadi bagaimana pandangan Yang Berhormat Jasin. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tangga Batu dan Yang Berhormat Hulu Terengganu. Jadi saya ingin menjawab dahulu Yang Berhormat Hulu Terengganu tentang apa yang telah disebut oleh Yang Berhormat Bagan semalam nampaknya beliau begitu tidak patriotik sekali, membandingkan negara kita dengan negara Indonesia. Seharusnya beliau yang saya rasa lebih arif, dia tidak boleh bandingkan epal dengan epal bahkan Malaysia dengan Indonesia adalah dua negara yang berlainan.
Kita tidak boleh bandingkan dengan defisit yang kita alami, positif yang mereka dapati bahkan kalau kita bandingkan ekonomi Malaysia dengan Indonesia, kita jauh lagi ke depan bahkan perbandingan ini mestilah meliputi yang pertamanya berapa GDP per kapita kita. Kita jauh ke depan. Selepas itu, kita punya rate kemiskinan, kita jauh lebih terbaik, sekarang kita baru 4 peratus sahaja. Selepas itu kita tengok kita punya PPP, kita punya dengan izin purchasing power parity kita, kita lebih jauh dan juga apakah literacy rate kita. Jadi jangan buat perbandingan begitu kerana apa yang terjadi di negara kita, negara kita adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka. Saya sudah sebut tadi dan apa juga yang berlaku di peringkat global mempunyai impak yang mendalam kepada negara kita. Keduanya, pertumbuhan yang berlaku sekarang macam Indonesia, macam Filipina dia mencatat pertumbuhan, selepas itu India dan China kerana penduduk mereka yang ramai. Di sinilah pentingnya domestik ataupun penggunaan tempatan cukup penting sekali. Saya harap saya sudah menjawab soalan Yang Berhormat tadilah. Keduanya, soalan daripada sahabat saya Yang Berhormat Tangga Batu tadi. Memang betul Yang Berhormat, itu yang saya dengar daripada semalam sampai ke hari ini nampaknya Yang Berhormat daripada pembangkang ini patutnya menjadi pembangkang yang lebih constructive. Kita memberikan idea, pandangan kalau boleh yang membina dan janganlah kita sepanjang masa menghentam. Yang Berhormat ada sebut tadi tentang apa yang terjadi bahawa kita bukan hendak bergantung kepada penjawat awam sahaja. Saya sebenarnya menyebutkan kita sangat bergantung kepada penjawat awam walaupun dalam keadaan kita pada ketika ini mengamalkan sikap penjimatan dan kerana hasil kita yang cukup terhad, kita mengharapkan mereka akan meneruskan dan meningkatkan produktiviti serta melaksanakan mana-mana juga projek yang kita rancang mengikut jadual. Dalam masa yang sama, kita hendakkan kalau boleh penglibatan rakyat secara keseluruhannya dan dapat benar-benar menukar minda, menganjak pemikiran kita supaya kita dapat sama-sama mengaplikasikan model ekonomi baru. Seterusnya Yang Berhormat ada sebut tentang Singapura tadi bahawa sistem pemasaran mereka yang cukup cemerlang. Sebenarnya, Singapura tidak ada mempunyai sumber tetapi sebagai sebuah negara yang berorientasikan kepada pasaran finance ataupun kewangan, mereka sebenarnya terjejas begitu kuat sekali dan bagaimanapun mereka dapat bangkit semula dan insya-Allah Malaysia pun akan serupa juga. Apa yang berlaku sekarang sebenarnya tidak ada kawalan kita, produk-produk kita sebenarnya dipasarkan melalui mereka. Seharusnyalah kerajaan mengambil langkah awal bahawa perkara ini tidak berlaku lagi. Jadi saya hendak sambung balik semula Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua, minta laluan. Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Yang Berhormat Jasin pada peringkat awal tadi dalam ucapannya memberikan teguran dan juga mengajak semua ahli pembangkang untuk bersama-sama menangani masalah ekonomi negara terutama sekali menyokong bajet yang telah dikemukakan dan dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan. Cuma kalau kita tengok bajet negeri-negeri termasuk pembentangan bajet yang telah dibentangkan Kerajaan Negeri Kelantan baru-baru ini iaitu mengalami defisit sejumlah RM29.5 juta pada tahun depan. Jadi kita percaya bahawa dalam kedudukan ekonomi global yang tidak menentu ini bukan sahaja Kerajaan Barisan Nasional bertanggungjawab untuk sama-sama menangani masalah kegawatan ekonomi jadi kita hendak juga seperti mana pandangan daripada Yang Berhormat Marang kata pembangkang mestilah menjadi pembangkang dan juga penasihat yang baik kepada kerajaan. Apakah pandangan Yang Berhormat terhadap perkara ini.
Yang Berhormat Kuala Krau sebenarnya itu pandangan yang cukup baik dan saya hendak masukkan sebahagian daripada teks sayalah tetapi apa yang penting ketika ini kita telah membentangkan satu belanjawan yang berimbang.
Minta laluan.
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat. (cid:1)(cid:1)(cid:1)(cid:1)
Saya terpanggil apabila menyebut negeri Kelantan dan saya hendak pihak Kerajaan Barisan Nasional membuktikan bahawa dia adalah satu kerajaan yang bertanggungjawab dengan membayar balik royalti yang telah dirompak daripada rakyat Kelantan. Apa pandangan Yang Berhormat?... [Tepuk] [Dewan riuh]
Tarik balik.
Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Apa pun, kita mesti lebih beradab. Dalam perbincangan Dewan yang mulia ini, jangan gunakan perkataan rompak... [Dewan riuh] Kerajaan ini adalah kerajaan yang cukup prihatin, kerajaan yang membina, kerajaan yang membantu kepada rakyat. Tidak guna pakai perkataan begitu. Kalau kita guna perkataan yang beradab, saya akan menjawab dengan beradab. Jadi saya pilih tidak hendak jawab benda itu. Terima kasih banyak-banyak... [Dewan riuh]
Yang Berhormat Jasin, saya ingat Yang Berhormat Jasin saya minta penjelasan. Saya ingat setuju atau tidak Yang Berhormat Jasin ini cadangkan Yang Berhormat Rantau Panjang ini belajar dengan Yang Berhormat Marang. Dia bagi ucapan yang berhemah dan memberi nasihat kepada kita. Hormatlah kepada Presidennya sendiri.
Ini Yang Berhormat Jasin, sebelum Yang Berhormat Jasin meneruskan hujah, saya ingatkan kembali kepada Ahli Yang Berhormat. Pada persidangan kali ini kita bermula dengan begitu elok sekali. Kalau ada perkara-perkara yang Ahli-ahli Yang Berhormat fikir perlu untuk disampaikan, reservekan itu sewaktu Yang Berhormat dipanggil untuk berbahas. Saya percaya bahawa memang perbahasan kadang-kadang memerlukan pencelahan. Namun begitu, dalam pencelahan itu, khususkan kepada pertanyaan yang perlu untuk diberi penerangan supaya difahami oleh orang yang sedang berucap dan jangan selalu tumpang hujah. Reserve hujah itu untuk diri sendiri. Pada sesi ini saya berhemat untuk semua Ahli-ahli Yang Berhormat dapat berucap. Itu makanya masa kita jimatkan. Itu keadilan. Sila Yang Berhormat Jasin kalau boleh jangan kasi ruang kepada Ahli Yang Berhormat yang mahu mencelah semata-mata untuk tumpang berhujah. Sila, Yang Berhormat Jasin.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sebenarnya memang cukup bersetuju dengan Yang Berhormat Kuala Krau. Bahkan ucapan daripada Yang Berhormat Marang tadi...
Tuan Yang di-Pertua, peraturan mesyuarat.
...Memberikan saya pengajaran sebagai seorang yang terpelajar...
Yang Berhormat Jasin, ada point of order daripada mana tadi? Sila.
Tuan Yang di-Pertua, dengan penuh hormat.
Yang Berhormat Kubang Kerian. Sila.
Peraturan Mesyuarat 99 yang minta...
Peraturan?
Tuan Yang di-Pertua buat ruling. Adakah selepas ketua parti telah berucap, ini untuk memudahkan kamilah. Adakah bermula dengan Yang Berhormat Jasin ini masa telah dihadkan setengah jam kah, lima belas minit kah?
Belum lagi, belum lagi.
Belum, ya.
Belum lagi, Yang Berhormat. Kita akan hadkan masa minggu depan. Jadi apa yang kita ingin buat di sini selepas Yang Berhormat Jasin, jadi mungkin saya panggil, beri beredar balik pergi umpamanya daripada PKR, selepas itu pergi kepada ketua-ketua kumpulan wakil parti daripada BN dan Yang Berhormat Pasir Mas jangan gusar, jangan bimbang, kita akan beri ruang. Begitu juga dengan parti yang bukan dalam pakatan dan kerajaan. SAPP pun diberi ruang. Semua diberi ruang, saya janji tetapi jangan habiskan masa bertengkar dengan soal-soal politik. Umpamanya siapa merompak, siapa tidak betul, siapa betul. Itu jangan bawa di sini. Di luar sana boleh. Saya beri kebebasan bercakap di luar apa sekalipun. Namun begitu di sini hadkan masa demi kepentingan semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Sila, Yang Berhormat Jasin.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita sekarang tengah membincangkan perkara yang cukup serius dan seharusnyalah kita lebih fokus apa juga ucapan yang kita buat. Kunci kepada kejayaan kelangsungan model ekonomi baru ini ialah usaha untuk memperkukuhkan sumbangan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serta menggalakkan pelaburan swasta. Kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada usaha untuk meningkatkan pelaburan domestik dan menggalakkan syarikat kita di luar negara membawa balik keuntungan untuk melabur semula dalam negeri. Saya ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan memberikan perincian, apakah jenis insentif yang bakal kita sediakan kepada pelabur-pelabur ini? Sebenarnya kita hendak suruh dia bawa balik keuntungan mereka ataupun dengan izin, repatriation of profit yang akan dilaburkan semula dengan izin dengan reverse investment. Sila.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya terpanggil dengan hujah Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua bahawa usaha kerajaan menarik pelabur-pelabur luar untuk melabur ke negara kita. Malangnya apabila ada pelabur-pelabur yang datang, kerenah birokrasi daripada agensi-agensi kerajaan itu yang berleluasa. Dia minta yang macam-macam. Jadi akhirnya hasrat murni kerajaan mengundang pelabur-pelabur datang terhakis akibat birokrasi pegawai-pegawai di peringkat pelaksana. Jadi apakah Yang Berhormat ingin mencadangkan kepada kerajaan bahawa peraturan-peraturan sebegini harus dilonggarkan dan mana-mana agensi, pegawai- pegawainya yang mengamalkan birokrasi sehingga merugikan rakyat dan kerajaan harus diambil tindakan seberapa segera yang boleh.Setuju kah Yang Berhormat?
Terima kasih Yang Berhormat daripada Kinabatangan yang memberikan hujah yang cukup bernas sekali. Saya ingin memasukkan ke dalam teks ucapan saya tapi saya akan sampai ke situ nanti. Tuan Yang di-Pertua, walaupun kita menghadapi satu suasana ekonomi yang cukup mencabar, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah berjaya meyakinkan Arab Saudi untuk menyuntik dana sebanyak USD1.5 bilion untuk berusaha sama dengan 1Malaysia Development Berhad.
Kita ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas ketokohan beliau dan sikap dengan izin, farsighted nya dengan menubuhkan satu dana tanggungjawab sosial korporat ataupun CSR sebanyak RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Saya ingin mencadangkan supaya mana-mana syarikat korporat yang melabur atau membantu serta sumbang kepada dana ini, kalau boleh dikecualikan daripada cukai. Apa juga jumlah yang disumbangkan supaya kita dapat menanam sifat tanggungjawab dan suka membantu pada semua peringkat masyarakat. Tuan Yang di-Pertua, saya ada banyak perkara ini. Ada satu perkara yang kita mungkin terlupa. Dalam bajet kita ini, nampaknya kerajaan tidak ada memberikan peruntukan untuk pemanasan global. Apabila saya baca satu artikel, saya rasa cukup takut. Pemanasan global ini adalah satu aspek yang cukup penting dalam kehidupan kita. Kerosakan yang cukup serius pada ketika ini yang boleh menyebabkan kos perbelanjaan untuk memperbaikinya adalah dua peperangan. Peperangan dunia pertama campur dunia kedua campur dengan great depression. Seharusnyalah kita lebih berhati-hati supaya kita dapat memastikan apa juga langkah untuk mengurangkan pemanasan global ini dapat kita tangani bersama. Sebelum saya pergi ke tempat yang lain Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya setelah saya membaca satu artikel dalam surat khabar, saya lihat apa yang berlaku pada sebuah syarikat GLC, saya rasa cukup bimbang sekali. Jadi menyebabkan saya telah membuat sedikit kerja penyiasatan dan impak krisis ekonomi telah menular dengan begitu luas sekali. Bukan sahaja perkara ini tidak dimaklumkan kepada pihak kerajaan keseluruhannya bahkan ia telah menjejaskan GLC kita yang sedang berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan sekali. Seharusnyalah, semua pihak mengambil tahu akan masalah ini. Masalah sebenar yang dihadapi oleh MAS iaitu sebuah syarikat penerbangan negara yang mempunyai masalah kewangan yang cukup kronik sekali pada ketika ini. Walaupun satu ketika dulu MAS telah berjaya mengembalikan keuntungan kepada syarikat, tetapi masalah kewangannya akan berulang lagi. Mungkin tidak lama daripada sekarang, saya takut tahun 2010 akan berlaku. Apa yang saya hendak sebut di sini Tuan Yang di-Pertua, saya bukan bertujuan untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi di atas kesedaran dan keinsafan, saya rasa cukup terpanggil sekali untuk membincangkan perkara ini dalam Dewan yang mulia ini supaya pihak kerajaan semua peringkat masyarakat mesti sama-sama kalau boleh kita bantu. Ini sebuah syarikat penerbangan milik negara.
[Bangun]
Saya terperanjat Tuan Yang di-Pertua, apabila saya dapat memahami keadaan sebenar impak daripada krisis ekonomi global ini...
Pencelahan.
...Telah menyebabkan syarikat ini menyebabkan syarikat ini menghadapi masalah yang besar.
Yang Berhormat Labuan, Yang Berhormat.
Jemput.
Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya agak terpanggil apabila Yang Berhormat menyatakan kemungkinan besar tidak lama lagi MAS juga akan menghadapi masalah kewangan yang dinyatakan. Akan tetapi, sebagaimana yang kita sedia maklum, MAS telah pun dipulihkan baru-baru ini, yang mana sehinggakan kehebatan orang yang memulihkan MAS itu sendiri telah pun diangkat menjadi Menteri pada saat ini. Ini adalah kerana performance ataupun KPI beliau terlalu tinggi. Jadi, apakah pengubatan ataupun cara pemulihan MAS itu cuma pemulihan sementara, umpama macam kita sakit kepala dibagi panadol. Jadi, pada masa akan datang, MAS akan bermasalah lagi. Apakah pandangan Yang Berhormat? Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya daripada Labuan. Saya sudah sebut pada awal tadi, bukan tujuan saya. Saya berasa insaf, bukan hendak menuding jari kepada sesiapa. Memang benar apa disebut oleh Yang Berhormat Labuan tadi, suatu ketika kita telah berjaya mengembalikan ke landasan yang sebenarnya. Sekarang kita menghadapi satu kegawatan yang cukup membimbangkan sekali. Bukan kerana kesalahan pengurusan, tetapi keadaan sekeliling, circumstances, dengan izin. Pertamanya adalah kerana krisis kegawatan ekonomi global. Bukan sahaja MAS, bahkan banyak lagi penerbangan-penerbangan dunia yang telah pun jatuh bankrap. Keduanya adalah kerana kita menghadapi wabak penyakit H1N1, selesema babi ini, yang telah menyebabkan orang takut untuk berjalan. Ketiganya adalah kerana kenaikan kos pengurusan...
[Bangun]
Jadi apa pun, walaupun MAS pada ketika ini telah berjaya mengambil pelbagai langkah penjimatan dengan menurunkan kapasiti ataupun jumlah penerbangan, sepatutnya langkah-langkah tersebut akan menurunkan kos, tetapi sebaliknya kos semakin menaik. Ini yang kita bimbang sekarang ini.
Yang Berhormat Kota Belud.
Ya, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Jasin dan Tuan Yang di-Pertua. Tadi, Yang Berhormat Jasin mengatakan tentang permasalahan MAS dan seolah-olah memberi alasan kenapa MAS mempunyai performance yang begitu membimbangkan, tetapi saya minta pandangan daripada Yang Berhormat Jasin, kenapa pula AirAsia sebuah penerbangan yang baru sahaja ditubuhkan, yang tidak mendapat sokongan daripada kerajaan dengan begitu banyak mampu untuk bersaing dan mendapat keuntungan lebih daripada Malaysia Airlines ini ataupun Syarikat Penerbangan Malaysia? Kita tahu AirAsia mempunyai 80 buah kapal terbang ke seluruh dunia. Jadi, soal tentang masalah H1N1, masalah ekonomi itu juga menghambat AirAsia, tetapi nyata dan jelas Air Asia dapat menanganinya. Jadi, minta pandangan, kenapa sampai begitu sekali?
Terima kasih Yang Berhormat Kota Belud. Saya hendak masukkan sebahagian daripada ucapan dalam teks sayalah. Saya cukup setuju, tetapi saya akan sampai di situ. Apa yang saya nak sebut di sini Tuan Yang di- Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan izin, MAS is actually bleeding now to the tune of RM10 million a day. Ini yang cukup membimbangkan. Mungkin saya silap, tolong betulkan saya. Akan tetapi, setelah saya buat pemeriksaan, inilah yang berlaku. Kita sedang menghadapi satu kerugian tunai, dengan izin, the burning rate. Kalau tiada tindakan drastik yang dibuat, mungkin kita terpaksa menekan panic button dan kalau tidak boleh juga kita sempurnakan, saya takut syarikat ini akan gagal. Ini syarikat penerbangan milik negara. MAS sebenarnya adalah sebuah syarikat yang sebahagian besarnya dimiliki oleh kerajaan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan KWSP serta kerajaan-kerajaan negeri...
[Bangun]
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga turut bimbang dengan kenyataan Yang Berhormat ini iaitu memberi gambaran bahawa akan berlaku lagi satu krisis seperti yang berlaku kepada syarikat MAS ini satu ketika dahulu, sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan berbilion ringgit untuk mengembalikan reputasi syarikat penerbangan ini di persada antarabangsa. Ini tidak mustahil berlaku dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti Philippine Airlines, seperti di Amerika dan sebagainya sehingga Kerajaan Amerika terpaksa campur tangan.
Jadi, apakah Yang Berhormat ada pendekatan, mekanisme yang mungkin boleh disampaikan kepada pengurusan MAS itu sendiri bahawa perlu bersedia. Sebelum hujan kena sediakan payung. Sebelum terhantuk, kita mesti tengadah. Sebab kalau sudah terlanjur begini, akhirnya kerajaan terpaksa juga mengeluarkan wang dari saku untuk mengembalikan prestasi MAS itu sendiri. Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya daripada Kinabatangan, orang yang saya cukup hormati. Sebenarnya, beliau telah dapat tangkap apa juga yang saya ingin sampaikan. Sekurang-kurangnya the message is across, dengan izin.
[Bangun]
Apa yang terjadi Yang Berhormat, sebenarnya seperti saya sebut tadi, syarikat penerbangan seluruh dunia berlaku. Sila Yang Berhormat Arau.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jasin. Di peringkat awal yang berlaku masalah yang begitu besar yang menyebabkan kerugian kepada MAS ini, saya rasakan tindakan yang dibuat oleh pengarah urusan ketika itu, jadi Menteri sekarang ini, iaitu dengan transfer semua liabilities, dengan izin, kepada sebuah anak syarikat yang telah dibuat termasuk menjual bangunan sekalipun. Jadi, bermakna kata macam sembunyi sampah di bawah karpet. Jadi, kalau ini merupakan masalah yang lama pun tidak diselesaikan, sedangkan kita berhadapan lagi dengan banyak cabaran, terutamanya seperti masalah-masalah dan cabaran yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi, sudah tentu hendak bail out pun tidak larat bail out sudah. Macam AirAsia, kita bagi sedikit bantuan dengan bagi route sahaja, dia sudah dapat berdikari. Malah kita lihat penerbangan di dalam Negara Thailand yang AirAsia kawal daripada Bangkok ke Chiang Mai sekalipun, mengatasi syarikat Thailand. Makna kata keupayaan mengendalikan sendiri. Kalau boleh, biar diswastakan. Biar diswastakan, jangan lagi ada penglibatan kerajaan dalam hal ini. Apa pandangan Yang Berhormat berhubung perkara ini?
Terima kasih Yang Berhormat Arau. Patutnya biar Menteri jawablah, tetapi apa yang saya dapat setelah saya buat satu penyelidikan, kita dapati kita tidak payah menuding jari kepada sesiapa. Bahkan apa yang telah dibuat oleh pengurusan yang lalu adalah satu tindakan yang cukup baik pada ketika tersebut. Sekarang kita membicarakan apakah tindakan yang patut kita buat dalam keadaan sekarang, apabila kita menghadapi satu kegawatan dalam krisis ekonomi yang cukup teruk. Saya sebut tadi kenapa perkara ini berlaku, kerana yang pertamanya, krisis ekonomi dunia. Keduanya, penyakit. Ketiganya kerana kos operasi yang meningkat. Apa yang terjadi Yang Berhormat, kita dapati, ini laporan daripada IATA iaitu satu pertubuhan untuk syarikat-syarikat penerbangan seluruh dunia. Di sini menyebutkan, sebanyak 50 syarikat penerbangan bankrap pada tahun 2008. Lepas itu, 20 lagi yang dijangkakan akan bankrap juga. Lepas itu, penerbangan yang rugi sebanyak AS$11 bilion dalam 2009. Apa yang saya nak sebut di sini bukan sahaja MAS, di mana-mana syarikat penerbangan pun rugi. Jangan sebut apa pasal Malaysia macam ini, negara lain tak terjadi? Negara lain pun terjadi, tetapi kita kena ambil apa juga tindakan yang perlu bagi menyelamatkan MAS supaya ia terus dapat terbang. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, apa yang disebut oleh Yang Berhormat Arau tadi sebenarnya satu ketika dahulu kita telah membuat satu, dengan izin, restructuring selepas syarikat MAS menghadapi kerugian.
Jadi kita telah transfer ataupun kita telah mengalihkan semua aset-aset kita. Pertamanya kapal terbang kita, kita chargekan kepada PNB, semua aset kita yang lain, bangunan-bangunan kita chargekan kepada satu syarikat baru. Kalau tidak silap saya, Global Network serah kepada mereka. Selepas itu, baru kita jual aset-aset kita. Penjualan ini mencatatkan keuntungan dan kita dapat bayar kepada kedua-dua ini PNB dan juga Global Asset secara ansuran.
Jadi apa yang saya hendak sebut di sini adalah menjadi tugas kita sekarang untuk membincang apakah jalan-jalan tindakan yang patut kita buat kerana syarikat penerbangan MAS ini banyak berjasa kepada kita. Sebagai sebuah syarikat penerbangan milik negara, ia ada menjalankan banyak obligasi sosial misalnya penerbangan di Sabah dan Sarawak yang cukup merugikan di pedalaman. Selepas itu MAS juga menjadi alat perhubungan antarabangsa, dia menjalankan nasional servis. Dia sebenarnya menerbangkan flagship Malaysia. Jadi perhubungan dua haluan antara Malaysia dengan negara-negara luar. Jadi kerajaan seharusnya memikul tanggungjawab bagi memastikan supaya MAS dapat diselamatkan walaupun kerajaan telah menegaskan tidak ada bail out, tetapi apa cara, any form tidak kira, kerana tujuan kita utama untuk menyelamatkan syarikat penerbangan MAS ini mesti dibantu dan kita mesti mencari jalan untuk syarikat ini yang sedang bergelut dalam satu masa yang cukup besar...
Minta laluan...
[Bangun]
Yang mana?
Arau, Arau. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Mana dahulu, Yang Berhormat Arau atau...
Arau atau Yang Berhormat Padang Besar?
Tidak apa bagi Yang Berhormat Arau dahulu.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jasin. Saya bersetuju, dalam masa kita restructuring dahulu, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua, kita ada mengambil langkah-langkah drastik untuk mengurangkan kerugian dan akhirnya kita mendapat sedikit keuntungan pada tahun-tahun yang berikutnya. Akan tetapi apa yang saya bangkitkan pada pandangan saya Yang Berhormat Jasin dan minta Yang Berhormat Jasin mengutarakan sedikit penjelasan berhubung dengan perkara ini iaitu pada masa itu kita lihat chairman dan seluruh pengurusan berbelanja dengan begitu mewah. Malah dalam MAS Kargo misalnya kita ambil tenaga pengurusan dari luar negara yang dibayar dengan ratusan ribu ringgit gajinya, elaunnya. Jadi pembaziran di peringkat pengurusan telah dibuat seolah-olah tidak ada tenaga tempatan, anak tempatan yang mampu mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan penerbangan sedangkan syarikat ini sudah lama bertapak di negara kita. Tidak mampu kah anak tempatan kita? Itu kesilapan-kesilapan sampai lukisan yang ada di pejabat chairman berharga RM1 juta pada masa itu terpaksa dijual dilelong dan sebagainya. Jadi benda-benda macam ini sebenarnya kita tidak mahu lagi berlaku. Biar kita duduk dalam pejabat kecil tetapi kita dikenali dan urusan pentadbiran pengurusan, management berjalan dengan lancar. Itu yang kita mahu. Bukan soal saya tidak bersetuju dengan Yang Berhormat Jasin, tetapi kalau di peringkat pengurusan sendiri pun, ia tidak dapat dikawal dengan sepenuhnya... Satu masa pernah dibuat pengurusan mendapat bonus, kemudian staf, ground staff, pilot semua tidak dapat. Kita pertikai dalam Dewan yang mulia ini baru dapat. Jadi benda-benda macam ini yang perlu kita gemblengkan, fikirkan balik, koordinasikan supaya pastikan syarikat ini terus bersaing merupakan lambang kebanggaan negara. Apa pandangan Yang Berhormat Jasin?
Boleh tambah sedikit Yang Berhormat Jasin? Tambah sedikit.
Okey, jemput-jemput.
Terima kasih. Saya setuju, masalah kita ini Yang Berhormat Jasin apabila kita mencadangkan bahawa kerajaan step in dan bailout syarikat-syarikat ini mereka menjadi malas untuk mencari jalan, kreatif bagaimana untuk menyelesaikan masalah. Saya setuju dengan Yang Berhormat Arau banyak masalah- masalah dalaman MAS ini belum selesaikan lagi.Contohnya sistem human recourse mereka juga huru-hara. Sistem pengurusan sumber manusia di Malaysia Airlines atau Syarikat Penerbangan Malaysia ini huru-hara. Kita tahu. Jadi apabila kita mengatakan kepada mereka, okey kita akan bail out bagi lagi duit kepada MAS, saya khuatir mereka akan menjadi lebih malas, pihak pengurusan dan tidak mahu mencari jalan untuk memperbaiki keadaan. Itu kebimbangan kita, terima kasih.
Tambah sedikit Yang Berhormat. Sedikit sahaja. Apakah mungkin Yang Berhormat sedikit mungkin kesilapan kerajaan membawa Idris Jala menjadi Menteri dan mungkin pentadbiran orang yang pintar dalam MAS itu sudah hilang tidak ada lagi sehebat Idris Jala.
Tuan Yang di-Pertua, saya telah berjanji kepada diri saya tadi saya mestilah menjaga apa juga kata-kata saya dan tidak menuding jari kepada sesiapa. Bahkan apa juga keputusan yang dibuat oleh kerajaan, saya rasa mesti ada hikmah dia.
[Bangun]
Sila.
Selepas Yang Berhormat Padang Besar Yang Berhormat, saya sarankan supaya jangan bagi laluan lagi. Mungkin peraturan mesyuarat perlu kita ubah iaitu soalan-soalan tambahan pagi cuma dua, mungkin pencelaan itu kita hadkan kepada dua untuk seorang. Yang Berhormat Kinabatangan kalau dikasi biar mencelah, dia akan mencelah sampai petang. Sila Yang Berhormat Padang Besar.
[Ketawa] Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Jasin, saya hendak tanya pendapat. Hari ini kita lihat seolah- olah MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan sebagai syarikat dan tidak dilihat sebahagian daripada infrastruktur negara. Infrastruktur iaitu membawa rakyat asing, orang asing datang ke negara kita dengan kata lain meningkatkan industri pelancongan yang membawa hasil lebih dari berpuluh juta ringgit setahun. Jadi kalau kita lihat ini sebagai satu model adakah Yang Berhormat bersetuju supaya kita lihat perkhidmatan penerbangan ini secara holistik. Keuntungan yang datang daripada pelancongan itu digunakan untuk membantu MAS dan walaupun ia rugi dari segi urusan mikronya tetapi dari sudut makro dia membawa keuntungan yang besar kepada negara. Begitu juga yang dilakukan oleh Emirates, ia sebuah negara yang kecil tetapi ia mempunyai fleet yang terlalu banyak. Di dalam dunia, Emirates merupakan satu syarikat penerbangan yang berjaya dalam dunia dan dibantu oleh kerajaan sendiri dengan cara melihatnya secara holistik. Negaranya membangun begitu pesat. Jadi ini saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat adakah ini dapat diutarakan kepada kerajaan. Saya bersetuju supaya kita memperkemaskan khidmat dalamnya, memperkemaskan pentadbiran supaya ia lebih efisien tetapi pada keseluruhannya pendekatan secara holistik, kemungkinannya akan berjaya jika kita membangunkan industri ini cara yang lebih baik. Minta penjelasan Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Padang Besar. Orang yang cukup saya hormati memberikan pandangan yang cukup bernas sekali. Saya minta kalau boleh ucapan beliau masuk dalam teks saya. Namun saya sudah sebut tadi untuk makluman, MAS telah berjasa kepada negara kita. MAS adalah syarikat penerbangan milik negara yang bukan sahaja mempromosikan nama negara kita di persada dunia, bahkan telah memainkan peranan yang amat penting pada semua sektor bukan sahaja pelancongan bahkan sektor-sektor yang lain. Seharusnya walaupun kerajaan telah memutuskan tidak ada bail out.
Akan tetapi kerajaan tidak boleh lari daripada tanggungjawab asal bagi memastikan supaya syarikat penerbangan ini tidak terjerumus dan terus tutup kedai. Saya akan pergi lagi banyak fakta ini kerana sekurang-kurangnya saya mendapat sokongan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat supaya kita menggesa kerajaan mengambil tindakan yang drastik, selamatkan syarikat penerbangan MAS ini, syarikat penerbangan lima bintang kita.
[Bangun]
Sila Yang Berhormat Putatan.
MAS lagi Yang Berhormat Putatan?
Terima kasih kerana memberi peluang mencelah Tuan Yang di-Pertua...
Fasal Mas lagi ke Yang Berhormat Putatan?
Saya akan control...
Alih kepada logam lain.
Sebab Yang Berhormat Jasin sentuh soal penyelamat. Saya agak tidak bersetuju menyelamat syarikat MAS ini. Kerana kalau kita buat begitu, Kota Kinabalu International Airport dengan izin tidak akan menjadi hab pelancongan di negeri ini. Sebab apabila MAS ini mengontrol, monopoli perkhidmatannya begitu kurang puas hati dengan perkhidmatan kepada rakyat atau pengunjung ke negara kita. Jadi kita sudah lama berbincang mencadangkan supaya perkhidmatan MAS ini diperbaiki dan membuka ruang kepada penerbangan-penerbangan lain masuk ke negara kita supaya penerbangan ini mendapat competition, persaingan supaya apabila ia ada persaingan maka itu mungkin akan terbuka mata hati pengurusan MAS ini. Bagaimana minta penjelasan daripada Yang Berhormat Jasin.
Jasin, sedikit Jasin. Terima kasih, saya ingin membetulkan. Saya sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk kita membantu penerbangan MAS. Cuma saya tidak begitu selesa dengan alasan bahawa mereka ini sebuah syarikat yang membawa nama negara kita ke mata dunia. Tuan Yang di-Pertua, pada saya kalau kapal terbang AirAsia itu dipanggil AirMalaysia, ditampal bendera Malaysia yang besar-besar pun, itu boleh membawa pelancong-pelancong dan penumpang-penumpang ke negara Malaysia. It is not about the company. Kalau kita bercerita tentang betapa perlunya syarikat penerbangan untuk membawa penumpang atau pelancong ke negara kita dan pada masa yang sama menaikkan nama negara kita, ambil sahaja syarikat penerbangan yang paling efisien di Malaysia ini, tampalkan besar-besar bendera Malaysia di sana, saya rasa masalah itu selesai. Jadi ini yang saya ingin katakan dan minta penjelasan daripada Jasin. Bukan sebenarnya kita tidak mahu tetapi kita mahu penerbangan MAS, pengurusannya itu boleh membuat sesuatu internally sebab sudah ada contoh iaitu AirAsia itu sendiri yang boleh memperbaiki keadaan. Terima kasih.
Jasin, saya hendak minta penjelasan. Sedikit sahaja.
Semakin saya tegur ingatkan, semakin rancak pencelahan... [Ketawa]
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya rasa perlu saya tegas untuk hadkan masa.
Ini kali terakhir, kali terakhir, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya masih menyentuh tentang MAS.
Sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang saya hormati dan terima kasih sahabat saya dari Jasin. Saya amat bersetuju dengan Kota Belud, sahabat saya. Kadangkala kita lihat, bukan kata kita tidak boleh buat. Saya bersetuju sangat untuk kalau ada bail outkah untuk selamatkan, ini national pride, kebanggaan kita. Akan tetapi kalau AirAsia pun diberi seperti mana yang Kota Belud bangkitkan tadi, kita menonton EPL, pengadil pakai baju tajaan AirAsia, bermakna kita bangga. Syarikat kita menaja satu liga yang termasyhur dan tersohor di dunia. Kemudian untuk membuat keuntungan, jangan lihat kepada penumpang semata- mata. Air freight itu yang paling penting, yang boleh buat keuntungan. Akan tetapi nampak macam tidak diberi fokus. Kalau Lapangan Terbang Senai dibagi balik kepada MAS untuk mengendalikan hab kargo terbesar negara macam Yang Berhormat Padang Besar bangkitkan tadi, macam Emirates telah berjaya menubuhkan stadium terbesar di England dan sebagainya, mereka dibantu dan mereka berjaya kerana mempunyai struktur pengurusan yang begitu terancang dan sempurna. Amat bersetuju kalau AirAsia dibantu, MAS dibantu. Atas nama national pride, kita amat bersetuju supaya ianya dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan
Terima kasih Yang Berhormat Arau, Yang Berhormat Putatan dan Yang Berhormat Kota Belud. Apa pun, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, MAS sebenarnya seperti saya sebut tadi telah banyak berjasa. Dalam masa yang sama, menjalankan perhubungan dua hala antara negara-negara. Banyak daripada destinasi-destinasi kita yang kita buat adalah destinasi yang merugikan, tetapi kerana obligasi sosial terhadap negara, MAS kena buat juga. Akhirnya terpaksa kita potong. Macam ke Vienna, terpaksa kita potong kerana ini penerbangan yang merugikan. Akan tetapi boleh tidak kita potong penerbangan di Sabah dan Sarawak yang merugikan? Tidak boleh kerana ini obligasi sosial. Satu ketika dahulu sebenarnya perjanjian dan understanding kita dengan AirAsia, AirAsia tidak boleh kacau semua route yang dibuat oleh MAS. AirAsia sebagai complimenting. AirAsia diberikan route untuk pedalaman Sabah dan Sarawak. Apabila didapati rugi, AirAsia tarik diri, ia hendak yang untung sahaja, Yang Berhormat Tuan Speaker.
[Bangun]
Ini masalah yang kita hadapi. Adakah kita hendak membiarkan syarikat penerbangan kita berseorangan? Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Jasin, sahabat saya. Saya mungkin tidak begitu bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat tentang MAS mengalami kerugian dalam operasi di dalam negeri Sabah. Pertamanya itu adalah komitmennya tetapi tidak apalah. Boleh saya cadangkan begini Yang Berhormat? Antara sektor yang paling menguntungkan MAS ialah sektor Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu. Ini yang paling untung. Dua jam setengah antara penerbangan yang paling lama dan paling menguntungkan kepada Malaysia Airlines. Kalau Malaysia Airlines mahu, bagi sektor itu kepada satu penerbangan daripada Sabah dan kita selesaikan masalah penerbangan di negeri Sabah. Itu tidak jadi masalah kepada Kerajaan Negeri Sabah. Saya pasti untuk mengambil alih penerbangan di dalam negeri Sabah tetapi bagi juga sektor Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur yang merupakan golden sector dalam penerbangan MAS. Terima kasih.
Cukup bertepatan, Yang Berhormat Kota Belud. Saya sebenarnya banyak perkara lagi. Kalau boleh izinkan saya terangkan satu persatu. Sekurang-kurangnya kita dapat satu gambaran jelas bahawa di hadapan kita ada satu masalah yang cukup besar.
Sebenarnya, Yang Berhormat Tuan Speaker, laporan kewangan yang telah dikeluarkan untuk tahun 2009, penerbangan MAS, ia telah mencatatkan keuntungan derivative sebanyak RM600 juta. Akan tetapi kerugian daripada operasi, RM400 juta. Apa makna kita untung derivative? Ini on paper. Yang kita hendak operasi kita. Operasi kita rugi RM400 juta. Selepas itu tahun 2007 kita untung RM400 juta daripada penjualan harta-harta kita dan juga daripada pendapatan revenue kita. Selepas itu apa yang saya hendak sebut di sini, yang saya ada sebut tadi, MAS is bleeding sampai RM10 juta sehari. Kita dapat lihat di sini pada tahun 2007, kita punya tunai dalam simpanan ada RM5 bilion, besar itu. Selepas itu sampai kepada penggal pertama tahun 2009 kita sudah tinggal dalam RM3 bilion sahaja. Kita sudah makan hasil duit kita dan duit ini akan terus lesap kerana dia punya burning rate yang tidak boleh tahan walaupun kita telah mengurangkan penerbangan kita, kita masih menghadapi keadaan yang sama. Seterusnya, Yang Berhormat Tuan Speaker, pengangkutan negara ini ialah sebuah syarikat pengangkutan yang cukup berprestij iaitu lima bintang yang banyak melakukan social obligation selain daripada untuk mendapatkan keuntungan. Selepas itu menjadi alat perhubungan kita. Apa yang saya hendak sebut di sini, kita hendak kalau boleh kerajaan mengambil tindakan ataupun apa juga cara untuk membantu syarikat ini. Saya hendak sebut di sini. Tadi Yang Berhormat banyak sebut tentang AirAsia. Satu ketika dahulu kerajaan telah memberikan kebenaran untuk mewujudkan AirAsia terbang ke laluan yang dikuasai oleh MAS, sebahagian daripadanya, complimenting tersebut. Sepatutnya AirAsia menjadi sebagai pembantu sahaja kepada MAS dan bukan secara pesaing secara langsung. Ini yang kita hendak sebut. Kita sudah susukan kera di hutan, jadi anak kita sekarang memang sedang teruk, Yang Berhormat Tuan Speaker. Antara market ataupun pasaran kita yang rugi, MAS yang rugi adalah Jakarta dan juga Surabaya. Ia ada frekuensinya. Kalau Jakarta dan Surabaya ini sepuluh. MAS ambil dua sahaja.Hendak ambil lagi! Semuanya dikuasai oleh AirAsia semata-mata, sebanyak lapan. Kenapa kita biarkan ini berlaku? Sepatutnya kerajaan mesti mengambil tindakan. Kalau boleh...
[Bangun]
Sila.
Terima kasih sahabat saya, Tuan Yang di- Pertua. Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan cerita pasal MAS ini. Cuma rakan Jasin ada sebut berulang-ulang kali berkenaan kerugian yang ditanggung oleh MAS.
Jadi, antara kerugian itu termasuk katanya kerana kerugian atau keuntungan yang dilaburkan berdasarkan kepada laporan di atas kertas. Memang betul, saya bersetuju, saya bersetuju. Banyak kali saya cuba untuk membuat penilaian secara terperinci berdasarkan angka-angka tentang kedudukan MAS. Namun, saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat Jasin, ada satu elemen lain juga yang barangkali lebih mudah untuk kita tengok secara jelas kenapa MAS berada dalam kedudukan kewangan begini. Mungkin yang terbaru kerana beberapa pengumuman yang dibuat oleh pihak Yang Berhormat Menteri atau Perdana Menteri sendiri yang baru-baru ini mengatakan Malaysia menjadi destinasi untuk kerja-kerja pembaikpulihan dan services atau service kepada Boeing 380, Air Bus kalau tidak silap. Perkara ini berlaku kerana Malaysia merupakan antara pembeli terbanyak kapal terbang jenis A380, Air Bus. Sebab itu diberi penghargaan Malaysia ini menjadi tempat untuk membaik pulih atau service kapal terbang jenis ini. Akan tetapi, sedar atau tidak Yang Berhormat Jasin, pembelian aircrafts termasuk A380 ini memang menyebabkan MAS mendapat pengecualian yang banyak terutama dari segi elaun modal, capital allowance. Daripada situ, ia boleh menyebabkan MAS ini membayar cukai-cukai yang jauh lebih rendah kerana ditolak elaun-elaun tadi. Itu pun MAS mencapai kerugian yang begitu teruk. Tanpa elaun modal ini tidak tahulah entah berapa puluhan bilion lagi barangkali boleh jadi perkara ini dapat dilihat lebih ketara lagi.
Soalan yang simplified dengan izin kepada Yang Berhormat Jasin. Adakah perkara ini perlu juga kita lihat sebab perbincangan berkenaan dengan MAS ini agak panjanglah. Saya rasa sudah 25 minit kita bincang pasal MAS. Sedangkan kedudukan yang diberitahu ini berkenaan dengan Air Bus yang kita beli begitu banyak ini, barangkali ada satu yang tidak patut kita buat atau keputusan kita buat terlebih dahulu dan sekarang kita hendak buat reverse atas keputusan yang silap itu agaknya. Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat dari Paya Besar.
Yang Berhormat Indera Mahkota.
Yang Berhormat Indera Mahkota. Minta maaf. Sebenarnya pembelian telah pun dibuat. Untuk maklumat kerana kita telah banyak memotong destinasi-destinasi penerbangan kita, walaupun kapal terbang itu tidak bergerak, kita masih lagi terpaksa membuat maintenance service dan ada kosnya dan pembelian ini telah pun dibuat. Memang pada ketika ini, kerajaan telah pun memberikan kebenaran untuk satu service hub kepada kapal terbang ini. Satu, baguslah kerana sekurang-kurangnya kita menjadi tumpuan kepada apa juga pembaikan-pembaikan. Apa yang saya hendak sebutkan di sini Tuan Yang di-Pertua, saya hendak ringkaskan ucapan saya kerana mengambil masa yang panjang kepada perbincangan tentang MAS, saya hendak mencadangkan kalau boleh kerajaan mesti bantu MAS ini. Ini kerana, kita jangan sebut tentang AirAsia. Saya tidak hendak sebut tentang akaun mereka. Sebenarnya, mereka juga menghadapi satu masalah yang cukup besar juga. Kalau kita kata MAS is bleeding, they are about, macam itulah maknanya. Ini kerana, apa juga sistem penerbangan pada ketika ini akan menghadapi masalah yang sama. Ini kerana krisis ekonomi dunia. Apa yang saya hendak cadangkan kepada kerajaan yang pertamanya, kita kalau boleh kita bantu dia. Kita pastikan, selain daripada semua jabatan-jabatan kerajaan, saya hendak mencadangkan semua badan-badan berkanun dan agensi-agensi kerajaan dan GLC menggunakan penerbangan MAS, memberikan keutamaan. Keduanya, kepada semua universiti-universiti, semua IPTA. Saya terperanjat hari itu Tuan Yang di-Pertua, dalam kita sibuk-sibuk menghadapi masalah ini, UTM menandatangani satu MoU dengan AirAsia, yang kalau boleh semua pensyarah dan juga pelajar-pelajarnya akan menggunakan penerbangan AirAsia. Saya rasa, kita perlulah kalau boleh lebih patriotik kerana ini milik negara. Kita mesti bantu syarikat ini dalam apa cara sekalipun dan janganlah hendaknya kalau terpaksa kita buat satu pakej, janganlah kita menuduh konon-konon kerajaan bail out. Adakah kita sanggup membiarkan syarikat ini terkontang-kanting, biar dia mati tetapi bagi saya Tuan Yang di-Pertua saya ingin mencadangkan kalau boleh kerajaan mesti menstrukturkan semula dan mengambil satu tindakan yang drastik supaya syarikat ini akan terus diselamatkan. Tuan Yang di-Pertua...
[Bangun]
Penjelasan.
Yang Berhormat Kuala Langat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih sahabat saya daripada Jasin. Saya mendengar dengan teliti hujah-hujah Yang Berhormat Jasin dan ingin mendapat penjelasan. Adakah kita wajar untuk berhujah, kalau kita naik AirAsia ini menggambarkan kita tidak patriotik? Saya rasa kita pun orang Melayu, orang Cina dan saya rasa ada juga Menteri-Menteri yang naik di mana Menteri yang naik AirAsia ini. Saya rasa bukan begitu hujahnya.
Saya rasa dalam konteks negara yang kita bercakap tentang 1Malaysia, kita bercakap tentang liberalisasi ekonomi, saya rasa yang pentingnya adalah jangan kita menggunakan suatu istilah semangat kebangsaan patriotik itu satu halangan, satu hambatan yang kadang-kadang kita contradict dengan apa yang kita perjuangkan. Saya rasa dalam konteks ini, kalau kita mahu MAS okey, macam saya sendiri, saya akui MAS sebuah syarikat GLC kerajaan yang mesti dipertahankan tetapi apa yang penting adalah biar kita berhujah, biar kita memberikan pandangan supaya MAS lebih kompetitif. Biar MAS lebih berdaya maju dengan tidak kita mengatakan syarikat saingannya itu dan kita marah pula mana-mana company, mana-mana syarikat yang ingin berurus niaga dengan syarikat itu contohnya AirAsia. Kita tidak boleh berkata begitu. Kalau tidak nanti, atas nama patriotik, semua syarikat swasta, semua syarikat asing dalam negara kita esok nanti kita akan banned begitu. Jadi, apa yang penting bagi saya, biar MAS dengan urus tadbirnya, dengan isu-isu yang berbangkit, masalah penyelewengan itu diperbetulkan dan biar MAS berdaya maju, bersaing, tindakan-tindakan yang proaktif. Kalau AirAsia mengemukakan satu skim ataupun satu pelan businessnya yang lebih menarik, ‘Everyone Can Fly’, biar MAS pula datang dengan satu pelan business yang lebih menarik, yang lebih menarik perhatian semua pihak. Ini cara yang saya rasa kita perlu positif terhadap masa depan supaya kita biar memiliki pemikiran pro business. Jadi, itu apa pandangannya dengan tidak kita menafikan bahawa MAS itu penting untuk dipertahankan sebagai salah sebuah syarikat GLC’s kerajaan yang perlu terus dibanggakan oleh kita semua. Terima kasih.
Yang Berhormat Kuala Langat bangun.
Bersekali. Boleh? Terima kasih Yang Berhormat Jasin, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Setelah saya khusyuk dan tawaduk mendengar hujah-hujah daripada Yang Berhormat Jasin mengingatkan saya peristiwa yang berlaku baru-baru ini, yang memperlihatkan satu saya menyokong penuhlah, persaingan daripada yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Kubang Kerian, tentang persaingan yang positif. Manakala satu ialah untuk mempertahankan GLC yang dikawal oleh kerajaan. Saya hendak memberi sedikit teguran dalam segi urus tadbir. AirAsia ini sebenarnya syarikat yang saya kategorikan sebagai keparat kerana satu tangannya memohon diminta bantuan, satu tangannya menekan pekerja. Sehingga ke hari ini saya diberitahu tidak tertubuhnya kesatuan sekerja kerana diugut, didera, ditindas oleh pengurusan AirAsia itu sendiri. Ini menggambarkan bahawa syarikat AirAsia ini tidak mengamalkan prinsip kenegaraan kita. Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Jasin dalam segi konteks memfokuskan syarikat AirAsia ini yang saya kategorikan sebagai tidak bertanggungjawab. Sebab itu, dalam erti kata lain mengaut keuntungan, mendera pekerja dan memberikan tekanan pada pekerja, itu bukan soal pokok untuk AirAsia. Memberi, dapat keuntungan itu matlamatnya.
Dalam masa yang sama saya menegur pihak pengurusan AirAsia seperti mana Yang Berhormat Jasin bicarakan tadi iaitu jangan keterlaluan mengurus tadbir dan menganiaya pekerja kerana jelasnya AirAsia hendak untung sahaja. Pekerjanya, persetan. Mereka tidak peduli. Ini menggambarkan bahawa pertanggungjawaban kepada AirAsia ini kelas yang paling rendah dalam mengurus tadbir. Dengan demikian untuk bersaing dengan MAS saya bersetuju bagi MAS bersaing dengan positif. Akan tetapi dalam masa yang sama pastikan bahawa penindasan pekerja ini tidak berlaku di mana-mana pihak. Itu pandangan saya. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih, sahabat saya, Yang Berhormat Hulu Langat yang memberikan pandangan yang cukup positif sekali. Kalau boleh ucapan ini saya hendak masukkan sebahagian daripada teks saya. Keduanya sahabat saya Yang Berhormat Kubang Kerian. Sebenarnya saya berharap Yang Berhormat Kubang Kerian tidak tersilap. Sebenarnya saya tidak bersetuju. Ia mesti ada persaingan supaya kita ada cost effectiveness. Akan tetapi dalam masa yang sama kenapa kerajaan memberikan kelonggaran, kebenaran menguasai banyak destinasi yang dikuasai oleh MAS. Saya boleh sebutkan satu persatu di sini. Tadi saya sebut Jakarta, Surabaya. Ini jalan yang cukup menguntungkan dikuasai oleh AirAsia. Sekarang pula destinasi seperti Seoul, Sydney, Delhi dan Frankfurt. Baru-baru ini kenapa pula dia hendak masuk Paris pula. Ini semua destinasi MAS, kenapa kacau? Kenapa kerajaan berikan kelonggaran ataupun kita bagi kelulusan kepada mereka? Saya tidak menyalahkan kepada Yang Berhormat Kubang Kerian. Sebenarnya apa yang saya cadangkan jabatan-jabatan kerajaan, GLC, agensi-agensi kerajaan dan IPTA siapa yang bayar kos penerbangan? Bukan sendiri yang bayar. Saya pergi keluar negara kerajaan yang bayar kerana tugas rasmi. Kalau kerajaan yang bayar terbanglah dengan penerbangan kerajaan. Satu lagi kita tidak memaksa orang perseorangan hendak terbang dengan yang mana hendak terbang terbanglah kerana guna duit sendiri. Saya pun kalau boleh saya hendak berjimat. Saya akan pilih, kalau AirAsia menawarkan tambang murah saya akan terbang dengan AirAsia. Akan tetapi kalau hendak keselesaan lebih dan lebih lagi kita bersikap patriotik kita mesti terbang dengan syarikat MAS. Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya beralih kepada topik yang lain. Ini bercakap pasal MAS sahaja. Kita bercakap pasal lain pula. Usaha kita untuk menambah dan meningkatkan semula ...
Sebelum pergi ke bab lain, boleh, Yang Berhormat Jasin? Terima kasih. Saya memang menunggu saat terakhir dalam perkara ini. Saya telah mendengar seolah-olah kita ini membincangkan satu antara dua, MAS atau AirAsia. Bagi saya sebagai seorang Malaysia apa salahnya kita membantu di mana yang perlu dibantu. Kalau kedua-duanya perlu dibantu kita bantu. Kalau AirAsia berjaya, AirAsia adalah syarikat Malaysia juga. MAS sememangnya syarikat Malaysia. Jadi kata orang, it should be a win-win situation ataupun tidak semestinya satu menang satu mesti kalah. Bagi saya, Yang Berhormat Jasin, mungkin tidak ada soalan. Just berkongsi pandangan sahaja. Begitulah pandangan saya. Terima kasih.
Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Kapit tetapi apa yang saya hendak tegaskan tadi MAS adalah sebuah syarikat milik negara yang dikuasai ataupun sahamnya dipunyai selain daripada kerajaan ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan KWSP manakala AirAsia adalah milik korporat, memanglah syarikat Malaysia. Kalau boleh kita memang hendak selamatkan semua tetapi kita kenakan utamakan anak kita sendiri. Selepas itu Yang Berhormat saya beralih ke tempat lainlah. Usaha kita untuk menambat dan meningkatkan semua pelabur asing ke Malaysia sebenarnya berkurangan. Pada ketika ini kita dapat hanya RM3.6 bilion sahaja berbanding dengan RM19.7 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas. Walaupun kita menerima hakikat bahawa fenomena ini sebenarnya disebabkan oleh krisis ekonomi yang tidak mengizinkan dan dalam masa yang sama kita juga menghadapi saingan yang cukup senget dari negara serantau dalam usaha mereka untuk menarik pelabur-pelabur asing yang cukup terhad. Insentif yang telah kita sediakan sebenarnya sudah cukup tetapi apa yang perlu kita buat sekarang ialah mesti meningkatkan keupayaan kita sebagai sebuah persekitaran yang mesra pelanggan agar kita menjadi sebuah ekonomi yang berorientasikan kepada pasaran dan mempermudahkan segala halangan. Tadi sahabat saya Yang Berhormat Kinabatangan ada sebut tadi. Mempermudah semua halangan perniagaan di semua peringkat dan yang paling penting kita terima hakikat kerajaan mestilah serius dalam usaha kita mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah seperti yang terkandung dalam NKRA dan KPI.
Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan yang telah membentangkan satu peruntukan yang cukup besar supaya kita dapat memastikan supaya agensi penguatkuasaan dapat terus diperkukuhkan. Langkah dan cadangan kerajaan sebenarnya cukup bertepatan sekali tetapi dalam masa yang sama saya hendak mencadangkan supaya SPRM mestilah meningkatkan keberkesanannya. Kita jangan takut kepada ugutan. Sesiapa pun jangan takut kerana kita adalah agensi penguatkuasaan dengan izin, without fear or favor. Yang sepatutnya kita buat dengan izin, honesty is the best policy. Tuan Yang di-Pertua, pada ketika ini agensi MIDA adalah memainkan peranan sebagai peneraju utama perindustrian negara sejak 42 tahun yang lalu dan kepakaran serta bidang perindustriannya memang cukup hebat. Saya lihat sendiri, saya berpeluang beberapa kali dan saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada MITI dan juga MIDA luar negara. Akan tetapi apa yang saya hendak sebutkan di sini supaya kita berikan empowerment sedikit kepada MIDA. Saya dapati ada kalangan kawan-kawan kita yang juga sama-sama mempromosikan kawasan perindustrian daripada kawasan mereka boleh mendakwa mereka sebagai one-stop agency. One-stop agency adalah MIDA. Apa juga pelaburan mestilah melalui MIDA kerana mereka adalah sebagai penyelaras dan juga mempunyai semua polisi dan juga roadmap. Yang penting kita jangan dengan izin, confusedkan pelabur-pelabur kita. Tujuan utama kita, kita mahu kalau boleh dia datang melabur dalam negara kita. Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, ini tentang Laporan Ketua Audit. Saya memang cukup sokong. Satu tanggungjawab yang telah dilaksanakan dengan penuh amanah sekali oleh Ketua Audit Negara mendedahkan semua penyelewengan. Akan tetapi Tuan Yang di- Pertua, apa yang terjadi pada ketika ini kita telah memberikan satu gambaran yang cukup buruk sekali dan meloyakan. Walaupun perkara ini ada berlaku, kita hendak kalau boleh sebelum laporan ini dibuat sebagai public document hendaklah kerajaan saring dahulu. Sebenarnya apa yang saya sungguh menghormati kerja audit, memang kerja untuk mencari kesilapan tetapi tugas utama mereka bukan sahaja mencari kesilapan. Sepatutnya kita membantu dan selepas itu kita mendidik. Selepas itu kita bimbing mereka. Kalau tidak boleh bimbing dan didapati ada betul-betul kesilapan, hukum mereka. Saya pun lama di peringkat negeri. Saya dapati selepas audit dia pun hilang. Selepas itu dia minta penjelasan. Kita buat penjelasan dalam surat. Lama selepas itu baru keluar report.
Tuan Yang di-Pertua, dengan izin damage is done. Sebenarnya banyak daripada kesilapan yang diterangkan di dalam audit report itu sebenarnya ada sebab-sebab. Bukan ada penyelewengan tetapi sepatutnya apabila didapati apa juga yang berlaku, audit patut buat, kita buat. Panggil mereka, berikan penerangan.Kalau ada kesilapan kita buat domestic inquiry. Kalau betul ada kesilapan, hukum mereka dan tangkap mereka. Kenapa diamkan? Kerana ada satu masa lapse di antara pemeriksaan dengan laporan audit. Lama masa itu. Jadi kita biarkan orang-orang, pesalah ini untuk berleluasa.
Ya, Yang Berhormat Kuantan bangun.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Jasin, pandangan Yang Berhormat Jasin, bukankah audit itu satu badan yang seharusnya bebas daripada mereka pelaksana. Bukankah tanggungjawab untuk membetulkan ini semua ialah tanggungjawab pelaksana. Kalaulah tidak ada masalah, kenapa kita harus takut? Mengapa kita harus takut untuk membuka pekung di dada kerana itu satu proses untuk pembaikan. Kenapa kita harus tutup? Kalau kita tutup, sampai bila kita hendak perbaiki? Saya hendak tanya pendapat Yang Berhormat Jasin. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kuantan. Kita bukan takut, saya sudah sebut tadi, saya ucapkan tahniah. Memang bagus kerja audit ini. Kita kata cukup cemerlang, A1 kerja dia.
Akan tetapi kita hendak kalau boleh, jangan kita berikan satu gambaran yang cukup memalukan kerana competitiveness kita akan jatuh. Banyak daripada kesilapan- kesilapan yang telah digariskan oleh audit ini ada sebab-sebabnya. Misalan saya beri sebagai contoh, membekal pokok bunga di sekolah. Kalau harga itu RM10.00 dia letak situ RM40.00, apa sebabnya? Dengan tidak tanya, apa lagi dia pun buat laporan. Sebenarnya bukan sahaja dia membekalkan, dia tanamkan pokok, selepas itu dia siramkan air dan letak baja. Jaga pokok sampai setahun selepas itu baru deliver kepada tuan tanah. Itu yang dia caj RM40.00. Jadi kita hendak kalau boleh ada penerangan yang jelas. Selepas itu kalau ada kesilapan buat inquiry. Kalau betul berlaku penyelewengan, tangkap mereka segera. Kenapa kita biarkan mereka? Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua...
[Bangun]
Sila.
Ya.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya saya pernah mengambil sedikit masa untuk membaca laporan audit. Kebetulan memang di dalam laporan audit, memang memberi peluang kepada pihak yang membuat salah memberi respons dan pembaikannya. Saya rasa tujuan laporan audit ini lebih kepada penambah baik sistem pengurusan jabatan-jabatan ataupun kementerian-kementerian berkenaan. Malang sekali, kita lihat kebelakangan ini laporan audit yang pernah dibuat bukunya begitu tebal tetapi nampaknya tidak ada sebarang tindakan daripada pihak-pihak yang berkuasa. Khususnya..., sekiranya SPRM kalau tidak cukup kerjalah, cuma korek apa yang ada dalam laporan audit. Ini cukup kerja untuk berpuluh-puluh tahun. Tadi Yang Berhormat Jasin ada memberi justifikasi berkenaan kes-kes pembelian bunga. Bagaimana kita boleh memberi justifikasi? Soal pembelian satu notebook komputer dengan harga pasaran RM4,500, harga pembelian RM42,000. Macam mana kita boleh beri justification kepada pembelian tersebut? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya memang bersetuju kerana dalam usaha kita untuk menambah baik sistem pengurusan, memang apa yang dibuat oleh laporan Audit memang cukup bertepatan. Akan tetapi saya berharap semoga Yang Berhormat teliti ucapan saya tadi. Kita tidak menghalang, kita tidak mengkritik. Akan tetapi sebenarnya mesti ada semacam system of reporting. Selain daripada mereka membuat audit, kalau boleh panggil ketua jabatan mintakan penjelasan. Selepas itu jika tidak juga penjelasan yang memuaskan, barulah kita boleh membuat laporan. Selepas itu dia ada system of reporting kepada ketua jabatan masing-masing. Sekarang kita hendak tanya, who audit the Auditor? Tak ada! Kita hendak audit? Jadi, kalau hendak kata, baru sekarang hendak suruh SPRM ambil tindakan daripada laporan audit, sudah terlambat. Ini kerana orang yang membuat kesilapan bebas. Berapa masa lapse tadi? Semasa kita membuat pemeriksaan, sehingga ke laporan beberapa bulan. Jadi itu yang saya sebutkan tadi, kadang-kadang bertahun-tahun. Jadi, selepas itu saya pergi kepada..., dan saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan.
Yang Berhormat...
Ya, Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Persoalan tentang audit report ini. Seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Jasin ialah kita tidak takut dan itulah sebabnya Auditor General ataupun Jabatan Audit adalah satu jabatan yang independent dan hanya bertanggungjawab kepada Parlimen. Saya faham dalam Jabatan Audit mengeluarkan laporan ini, ada exit conference seperti mana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Gopeng tadi.
Cuma mungkin, yang saya ingin minta penjelasan daripada Yang Berhormat Jasin ialah bentuk mana exit conference ini? Contohnya, katalah ada satu permasalahan yang ingin ditanya oleh audit dan pegawai yang berkenaan telah membuat satu ulasan dan ulasan itu pula diterima oleh audit. Malah kadang-kadang ada yang mengatakan okey, maknanya ulasan itu diterima oleh audit. Akan tetapi akhirnya laporan masih lagi menjatuhkan hukuman bahawa pegawai-pegawai tersebut salah. Jadi saya bersetuju dengan Yang Berhormat Jasin, bagaimana cara untuk menambah baik sistem pengauditan ini? Contohnya yang tadi PC berharga RM4,000 kepada RM40,000. Saya pun hendak tahu, mungkin perisiannya berbeza. Mungkin dia bukan hanya sebagai laptop sahaja ataupun PC sahaja tetapi mungkin sebagai perisian yang spec nya... Tidak masuk akal saya rasa syarikat-syarikat ini meletakkan PC itu berharga RM40,000. Tidak masuk akal. Hanya orang yang betul-betul bodoh sahaja meletakkan harga itu dan berharap supaya.. [Disampuk] janganlah. So, mungkin ada lagi sebab-sebab yang lain kenapa PC itu mencapai harga RM40,000. Ini yang kita mahu supaya audit. Juruaudit memberi peluang kepada kakitangan kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan memberikan penjelasan dan kalaupun penjelasan itu tidak diterima, beri tahu kenapa tidak diterima. Jangan terus-menerus mengeluarkan laporan dan akhirnya damage is done seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Jasin tadi.
Sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Jasin. Saya hendak menambah sebab kebetulan perkara yang sama sebenarnya. Saya beri respons tetapi dia bangun dahulu. Rakan saya memberitahu tentang elemen menambah baik proses audit dan juga melaporkan apakah penemuan-penemuan. Cuma begini, saya ingin bertanya pandangan secara kedua Yang Berhormat Jasin, setuju kah pandangan saya yang penemuan audit ini sebenarnya bukan dibuat secara menyeluruh. Audit ini adalah berdasarkan kes-kes yang dikenal pasti perlu kepada pick out dengan izin, pemilihan-pemilihan audit. Contohnya jabatan atau kementerian, bukan semua proses itu diaudit. Pihak Audit Dalam akan memilih antara kes-kes tertentu. Pick out sebagai kes yang digunakan sebagai kandungan proses audit setahun atau satu tahun kewangan dan perkara ini akan dikumpulkan bersama dan dikemukakan dalam bentuk laporan audit tahunan. Jadi sekiranya penemuan-penemuan ini ada terkandung dalam laporan audit seperti komputer riba yang sepatutnya RM4,000 jadi RM40,000. Ini adalah penemuan- penemuan yang melampau. Pokok harga RM4.00 jadi RM400.00. ini penemuan-penemuan melampau. Screw driver ataupun peralatan-peralatan seperti itu, yang harga RM2.00- RM3.00, jadi RM440.00, ini penemuan melampau. Pada saya, apa yang dikeluarkan dalam penemuan audit ini semua kes-kes yang bersifat ekstrem. Jadi, kita terperangkap dalam dua keadaan, sama ada hendak tunjukkan wujudnya transparensi dalam pentadbiran negara kita sehingga audit ini berjaya melaporkan perkara ini menyebabkan kita dilihatkan transparent dalam pentadbiran negara kita. Akan tetapi dalam masa yang sama kita mengeluarkan perkara-perkara yang cukup ekstrem dan cukup menakutkan orang luar, terutama pelabur yang menilai sejauh mana bagusnya penilaian kita terhadap delivers ataupun sistem-sistem penyampaian yang ada di dalam jentera pentadbiran kita. Saya rasa ini satu fakta atau satu isu yang barangkali kita perlukan pendapat umum. Adakah kita harus berterusan dengan sistem ini ataupun kita buat satu sistem yang baru untuk melihat keyakinan ini boleh ditambah dari sudut yang lain, mungkin. Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya daripada Indera Mahkota dan Kota Belud. Saya rumuskan kepada dua-dua pendapat tadi. Sebenarnya pengauditan yang dibuat bukan sahaja daripada sistem pengurusan bahkan juga daripada sistem kewangan, jadi secara menyeluruh.
Apa yang kita hendak cadangkan supaya walaupun laporan audit ini adalah public document, kita tidak mahu memberikan satu gambaran yang cukup negatif. Bukan sahaja kepada rakyat Malaysia yang seolah-olah tidak meyakini jentera kerajaan bahkan kita takut rating kita, competitiveness kita di mata dunia sangat “diperlekeh”. Apa yang terjadi sebenarnya kita hendak kalau boleh biro audit ini beri peluang untuk penerangan. Selepas itu barulah kita buat laporan, saya sudah sebut tadi, ia mesti ada system of reporting. Maknanya kepada ketua jabatan, selepas itu kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar mereka. Barulah kita dapati laporan yang kita keluarkan ini tanpa prejudis. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya terus kepada perkara yang lain. Saya juga mengalu-alukan langkah kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 bilion dalam melaksanakan projek penjanaan, penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik. Saya ingin mencadangkan supaya keutamaan diberikan kepada semua kawasan perindustrian supaya kita dapat menarik pelabur-pelabur asing yang selalu menghadapi masalah gangguan bekalan elektrik yang boleh menyebabkan terganggunya pengeluaran serta merugikan para pelabur. Cadangan saya supaya kerajaan dapat memastikan SAIDI semua kawasan perindustrian ditingkatkan. Keduanya, saya hendak cadangkan kalau boleh kita jadikan bandar Melaka bandar raya bersejarah, warisan dunia sebagai model supaya kita dapat tingkatkan SAIDI nya sepadan dengan Putrajaya. Untuk maklumat Tuan Yang di-Pertua, SAIDI di Singapura sekarang 2.2 dan dia cukup megah tetapi kita juga tidak tercicir kerana di Putrajaya SAIDI kita bawah daripada satu. Kenapa saya minta kalau boleh bandar Melaka ini diberikan, kalau boleh dipertingkatkan SAIDI nya kerana kita hendak menarik pelabur-pelabur asing, kita hendak menarik pengunjung-pengunjung yang sebenarnya banyak datang ke negeri Melaka pada ketika ini. Kedua, sebabnya kerana Melaka telah berjaya jadi model. Kita telah pun berjaya menjadikan sebuah kawasan MITC seluas 70 ekar sebagai yang mempunyai taraf multimedia. Di sana sebenarnya, di MITC, kita telah buktikan dengan berbelanja RM6.6 juta kita telah mencatatkan SAIDI kita kosong. Jadi maknanya tidak ada gangguan elektrik di kawasan MITC. Seterusnya kita hendak lihat kalau boleh kerajaan pada ketika ini dalam usaha untuk menarik pelabur-pelabur, kalau boleh kita pastikan hanya biar kita memilih, kita jadi selective sedikit. Pilih hanya pelabur-pelabur yang tidak berintensifkan buruh kerana kita banyak menghadapi masalah. Bahkan kita hendak kalau boleh dalam usaha kita untuk mempertingkatkan lagi pendapatan, kita hendak kalau boleh industri-industri yang berteknologi tinggi. Seterusnya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah walaupun dalam keadaan penguncupan hasil negara yang cukup berkurangan tetapi kerajaan masih lagi prihatin dan memberikan banyak insentif kepada rakyat dengan mengurangkan kadar cukai pendapatan. Ini sebenarnya membolehkan peningkatan positif kepada pendapatan yang boleh kita belanjakan dan golongan-golongan menengah terutama daripada golongan menengah yang boleh sama-sama membantu untuk menjana pertumbuhan.
[Bangun]
Silakan.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan juga Yang Berhormat daripada Jasin. Kita selalu menyebut bahawa kita perlu industri berteknologi tinggi dan selalu memperlekehkan industri-industri kecil dan buruh- buruh. Yang Berhormat sedar atau tidak selama hari ini kita hidup di negara maju kita ini sampai tahap sekarang yang boleh dianggap antara negara yang berjaya di dunia ini hasil daripada titik peluh siapa?
Jadi dengan sebab itu, di samping kita hendak mencapai kejayaan dalam teknologi yang hebat-hebat ini, jangan sampai kita memperkecil dan merendah-rendahkan dan juga tidak bersyukur di atas apa nikmat yang kita perolehi di masa yang lalu. Boleh tidak Yang Berhormat beri perangkaan yang menunjukkan sumbangan small skill industries, small medium enterprises berbanding dengan heavy technology industries. Kalau tidak ada jangan cakap, heavy industries, heavy industries. Saya hendak tanya heavy industries yang macam mana yang kononnya hendak diperhebat-hebatkan sangat ini, sudah dikenal pasti atau tidak? Orang cakap bioteknologi, kita cakap bioteknologi tetapi bioteknologi yang macam mana? Kita pun tidak tahu projek apa. Jadi saya ingat biarlah kita jelas sikit, jangan sampai sekarang ini saya dengar banyak syarikat SME menghadapi masalah dan juga tidak dapat perhatian daripada kerajaan dan bantuan, mereka lari sahaja dan buka di tempat lain, pergi negara-negara seperti Myanmar, Vietnam, Cambodia dan sebagainya sebab kita dah hebat sangat dah, kita sudah tidak mahu SME-SME lagi, hendak yang berteknologi tinggi dan sebagainya. Jangan orang kata ‘dapat gading bertuah, tanduk apa?... Saya pun dah lupa pepatah itu.
[Menyampuk]
Ha, tanduk tidak berguna lagi. Pandai Ketua Penerangan UMNO. Jangan sampai ‘dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi’, dapat bini muda jangan lupa bini tua... [Ketawa]
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak sahabat saya, memang cukup tepat sekali. Saya tidak lupa yang tua dan itulah yang satu sahajalah. Akan tetapi saya tidak sebut tadi heavy industry, saya sebut yang berteknologi tinggi, ini ada dua kelainan Yang Berhormat. Kita juga tidak lupa SME sebenarnya adalah penyumbang yang terbesar sekali kepada tenaga pekerja dalam negara kita. Seterusnya, saya memang ucapkan tahniah kepada beliau, seorang ahli ekonomi, memang faham betul, saya tahu. Memang dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan ada menyebutkan tentang memperkukuhkan SME kita. Seterusnya, kerajaan ada mencadangkan atau membuat satu kajian supaya hendak memperkenalkan GST dikaji. Saya memohon kepada kerajaan kalau boleh dalam keadaan yang cukup gawat ini, kalau boleh kita lupakan usaha tersebut kerana apa yang telah kita buat iaitu sistem servis ini, service tax dah ada dan memadai. Janganlah pula kita memperkenalkan pula GST dan juga value added tax ini yang mungkin akan membebankan rakyat. Seterusnya saya pergi kepada kad kredit. Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah mengenakan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit dalam usaha kita untuk menggalakkan perbelanjaan berhemah. Pada ketika ini, kita sudah ada 2 juta kad kredit berbanding dengan 28 juta penduduk Malaysia dan sebanyak RM285 ribu caj kad. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya terbaca satu artikel yang disebut di situ dengan izin, to live in credit sebagai satu trend kehidupan pada masa kini. Seorang ada berbelas kad kredit, tunjukkan kehebatan tetapi kita berhutang. Jadi keputusan kerajaan mengenakan setahun RM50 kepada setiap kad kredit yang baru ini memang cukup dialu- alukan supaya kita mengamalkan satu budaya berjimat cermat.
[Bangun]
Seterusnya saya... ya, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Saya tertarik dengan pandangan Yang Berhormat Jasin berkenaan dengan penggunaan kad kredit. Katanya bahawa kerajaan mengenakan caj RM50 ini untuk tidak menggalakkan supaya rakyat kita mengalami satu atau pun menjalankan satu budaya berhutang.
Akan tetapi saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat, bukankah Kerajaan Persekutuan kita juga mengamalkan budaya berhutang? Selama 13 tahun mengamalkan perbelanjaan defisit? Saya rasa ini ada sedikit kekeliruan dalam minda Yang Berhormat. Pada satu pihak Yang Berhormat mengatakan bahawa galakan rakyat jangan ada budaya berhutang tetapi kerajaan kita mengamalkan budaya berhutang. Walaupun semasa keadaan ekonomi yang baik kita tidak menabung. Kita teruskan dengan perbelanjaan yang banyak, mengambil hutang daripada luar negara dan ini telah menyebabkan negara kita banyak berhutang kepada luar negara. Apakah pandangan Yang Berhormat?
Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya saya minta maaf. Saya tidak dapat memberikan penjelasan kepada hujah Yang Berhormat kerana ianya bertentangan daripada sistem kewangan kita pada ketika ini. Bahkan apa yang terjadi, defisit yang kita buat semakin mengecut. Saya hendak maklumkan kepada Yang Berhormat. Kita jangan heboh-heboh sangat. Defisit kita baru 5.6 peratus. US sekarang defisitnya 100 peratus... Sila.
Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Mungkin soalan saya mudah sedikit untuk dijawab kerana soalan daripada Yang Berhormat Rasah ini agak tinggi sedikit. Saya tidak faham macam mana bila kita caj RM50 maka hutang itu berkurangan. Bukankah bila dia kena bayar RM50 setahun maka hutangnya bertambah RM50? Sepatutnya kalau kita hendak halang ataupun hendak menanam satu budaya jimat cermat dan kita tidak mahu memberi orang yang tidak mampu untuk memiliki kad kredit, kaedah tambahkan hutang dengan RM50 setahun itu tidak akan mencapai matlamat kita. Apa ianya akan capai ialah pendapatan pertambahan bagi kerajaan sebanyak RM50 kali sebelas juta iaitu RM550 juta setahun dan menambahkan hutang orang yang sudah berhutang dengan RM50 tambahan setiap tahun. Cara kalau kita hendak atasi masalah ini sepatutnya pada pandangan saya, mungkin Yang Berhormat boleh komen ialah untuk kita menentukan bahawa hanya orang yang ada kemampuan untuk memiliki kad kredit diberikan kad kredit. Sebagai contoh kelayakan pendapatan yang RM3,000 sebulan ke atas, daripada keadaan sekarang ini yang mana kita dapati mahasiswa pun boleh ada kad kredit. Ini tidak dapat diselesaikan dengan kita tambah hutang orang ini dengan RM50 setahun. Saya tidak nampak pendekatan yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional menyelesaikan masalah ini. Ianya hanya menambahkan pendapatan dan menambahkan hutang. Saya harap Yang Berhormat boleh komen. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Sebenarnya apa yang dicadangkan oleh kerajaan, apa juga caj kepada kad kredit, kerajaan akan mengenakan cukai RM50 kerana semata-mata untuk menanamkan budaya kita berjimat cermat dan dalam masa yang sama mungkin dengan pendapatan tersebut kita boleh membantu kepada revenue negara. Apa pun pada ketika ini, saya hendak sebut Yang Berhormat, ada satu, dua, tiga perkara yang ada hubung kait dengan kad kredit. Kad kredit ini kita tidak perlu minta. Kita sudah ada dua, tiga kad kredit. Sebenarnya bank-bank tengok sahaja simpanan kita. Lebih sedikit dia pun offer satu kad kredit baru. Sain sahaja kerana semua maklumat kita sudah ada. Kita sain sahaja. Empat sudah ada. Bank beri lagi jadi lima. Dia kata upgrade. Kita yang bodoh ini terima tetapi kita kena bayar... [Ketawa] Maknanya apa keputusan kerajaan ini cukup bertepatan sekali. Memang saya sokong sekali. Tuan Yang di-Pertua, apa yang terjadi sekarang setiap... sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang. Saya tertarik dengan apa yang telah dikatakan baru-baru ini. Terlalu mudah selama ini untuk seseorang mendapat kad kredit sebab seperti mana yang telah diceritakan oleh Yang Berhormat Jasin tadi. Di mana-mana sahaja pun ditawarkan begitu sahaja. Kalaulah pada masa sekarang ada satu matlamat kerajaan dalam bajet ini untuk mengenakan RM50 itu untuk mendapatkan revenue sedikit. Cadangan saya kalau Yang Berhormat Jasin setuju biarlah pada tahun atau dua tahun pertama ini. Biarlah institusi yang mengeluarkan kad kredit itu membayar dahulu RM50.
Janganlah bebankan kepada yang mendapat kad kredit itu sebab mereka ini seperti mana yang kita sedia maklum kebanyakan mereka ini yang tidak berkemampuan dari segi kewangan tetapi mendapat kad kredit itu dengan mudah sekali, yang dioffer oleh institusi yang mengeluarkan kad kredit. Buat masa setahun atau dua tahun ini biarlah institusi yang mengeluarkan kad kredit itu dengan mudah sahaja kepada mereka ini, dikenakan dahulu membayar RM50. Ramai yang mendapat kad kredit adalah dari yang berpendapatan rendah atau yang tidak mampu sekali tetapi sudah mendapat kad kredit. Mereka gunakan kad kredit itu untuk caj bulanan sebab mereka telah menggunakan untuk membeli barang dan lain-lain dengan membayar secara ansuran. Kalaulah dikenakan RM50 sekarang mereka dikira sudah berhutang seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Shah Alam tadi. Sila Yang Berhormat Jasin.
Terima kasih Yang Berhormat Kapit. Sekurang-kurangnya Yang Berhormat sahabat saya ini begitu positif sekali. Dengan usaha kerajaan kita cadangkan kalau boleh kita kenakan caj ini kepada pengeluar kad kredit. Satu perkara yang hendak disebutkan Tuan Yang di-Pertua saya fikir Tuan Yang di-Pertua pun mengalami perkara yang sama.
Minta jalan.
Setiap dua, tiga bulan, kad kredit ini akan hantar kita surat mengandungi cek yang berharga RM10 ribu atau RM20 ribu atau RM30 ribu suruh kita berhutang tetapi daripada yang saya nampak kebanyakannya adalah bank- bank asing. Hantar cek RM10 ribu. Diberi pinjaman mudah, kita berhutang. RM20 ribu tambah seterusnya RM30 ribu. Kita akan menanggung hutang sepanjang hayat. Kita hendak kalau boleh budaya yang tidak sihat dan tidak beretika ini dihentikan.
Minta jalan.
Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Saya amat bersetuju dan menyokong cadangan daripada Yang Berhormat Kapit tadi. Sebenarnya caj itu atau pun faedah itu patut dikenakan kepada syarikat kad kredit dan bukannya pengguna kerana yang mendapat keuntungan besar itu ialah syarikat kad kredit. Walaupun mereka beri kredit tetapi sebenarnya mereka mengenakan faedah. Walaupun nampak 1.5 peratus sebulan itu kecil tetapi dia tahu psikologi pengguna ini. Mereka akan hanya membayar minimum payment dan akan berhutang bertahun-tahun. Syarikat mendapat keuntungan yang begitu banyak sekali daripada pengguna-pengguna kad kredit ini. Saya rasa apa yang kurang dalam pembentangan bajet ialah walaupun kita dikenakan RM50 tetapi ini tidak menghalang pengguna terus untuk mendapatkan kad kredit tersebut. Saya lihat syarikat-syarikat kad kredit ini sekarang terlalu memasarkan kad kredit dengan agresif. Pergi pam minyak pun ada orang datang tawarkan kad kredit. Pergi pasar malam pun begitu. Saya rasa apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah caj ini tidak akan berkesan. Yang berkesannya ialah Bank Negara perlu meletakkan syarat-syarat yang lebih ketat kepada pemohon kad kredit dan juga perlu diikuti oleh syarikat kad kredit supaya tidak mudah orang-orang muda khasnya, yang baru keluar bekerja, tidak ada pendapatan malah mahasiswa pun diberikan kad kredit walaupun dia tiada pendapatan. Apabila berhutang yang membayarnya adalah “fama - father dan mother”. Ini menyebabkan banyak masalah sosial di kalangan keluarga. Saya rasa ini perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Terima kasih.
Yang Berhormat, saya hendak tambah sedikit sahaja Yang Berhormat. Mungkin beberapa orang yang mencelah tadi tidak sebut tentang pengeluar kad kredit ini bukan sahaja membebankan pengguna, pengeluar kad kredit ini juga membebankan kepada pembekal-pembekal yang menggunakan kad kredit untuk jualan barang mereka.
Umpamanya kalau finance charge itu pengeluar kad kredit ini caj kepada penjual- penjual pula Yang Berhormat. Nampaknya untung semua mereka sapu, yang kena bayar komisen adalah pembekal, penjual, pengguna kepada kad kredit tersebut. Jadi di mana sebenarnya kalau kita katakan pengurusan risk sharing atau bersama-sama berkongsi risiko perniagaan ini? Nampaknya pengeluar kad kredit ini akan untung sepanjang masa. Kalau untung sahaja bukanlah satu perniagaan Yang Berhormat. Boleh Yang Berhormat teruskan?
Terima kasih Yang Berhormat Tangga Batu dan Yang Berhormat Rasah. Saya tengok kedua-dua pendapat ini cukup bertepatan sekali dan cukup positif, tetapi apa yang saya nak cadangkan kalau boleh saya rumuskan semua pendapat daripada Yang Berhormat Kapit, dan ketiga-tiga Yang Berhormat tadi, kalau boleh untuk peringkat pertama kita cadangkan kepada kerajaan, kenakan caj ini kepada pengeluar kad kredit. Selepas tahun kedua, baru kita kenakan kepada yang minta kad kredit. Kita bukan hendak susahkan orang, tetapi kita hendak mudahkan cara. Seterusnya, saya hendak jimatkan masa, kita sekarang sebenarnya menghadapi satu lagi budaya, di mana pembelian mudah yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat Courts Mammoth, benar-benar memerangkap golongan berpendapatan rendah. Mereka menawarkan pinjaman mudah. Contohnya, nak raya nanti, set kerusi meja, katil tidak payah bayar, ambil percuma, hanya bayar RM30 sebulan. Sebenarnya Tuan Yang di-Pertua, apabila kita kaji, saya telah tengok satu kes pembelian sebuah televisyen yang berharga RM1,800 kalau kita beli secara tunai. Kalau kita beli melalui skim ini, mereka menawarkan pembelian tanpa cagaran, bayaran yang paling mudah dan mereka terpaksa membayar RM3200. Lepas itu ada plus lagi, caj perkhidmatan (management fee) dan sebagainya, akhirnya sampai RM4,000. Ini adalah satu perkara yang cukup tidak adil. Kalau boleh kita minta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri melihat kaedah seperti ini. Kalau boleh kita jangan sampai membebankan rakyat. [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat] Seterusnya, saya hendak mencadangkan kepada cukai RPGT yang dikenakan kepada semua penjualan-penjualan dan kerajaan telah memperbetulkan ayat iaitu ia akan mengenakan secara flat rate sebanyak 5 peratus dan memberikan kelonggaran kepada perpindahan antara ibu, ayah kepada anak dan memberikan juga kemudahan kepada apa juga penjualan pertama rumah. Jadi, kita hendak mencadangkan kalau boleh, dalam usaha kerajaan untuk mengelak daripada spekulasi, kita mahu kalau boleh pihak kerajaan lebih berhati-hati dan kalau boleh kenakanlah caj ini kepada semua ataupun apa juga transaksi yang atas daripada lima ratus ribu ringgit sahaja. Seterusnya, saya hendak mencadangkan satu lagi perkara yang berkaitan dengan pelepasan cukai...
Yang Berhormat hendak tanya, berapa banyak lagi Yang Berhormat?
Kalau begitu saya ringkaskan sahaja.
Mintalah Yang Berhormat.
Akhirnya, kerana keadaan masa, saya cuma ada satu lagi iaitu kepada syarikat-syarikat yang membayar zakat. Kalau boleh kita beri satu insentif kerana syarikat-syarikat yang bayar zakat ini, ia bayar zakat syarikat sebanyak 2.5 peratus daripada keuntungan, tetapi ia juga dikenakan income tax, cukai. Jadi, dia kena bayar dua kali. Kalau boleh saya mohon cadangkan kerajaan supaya dapat mengkaji perkara ini dan kalau boleh kita tolakkan daripada jumlah yang dicukai.
Saya telah pun ditegur oleh Tuan Yang di-Pertua kerana saya dah panjang sangat, jadi saya ucapkan terima kasih dan kalau ada apa-apa kesilapan saya mohon maaf. Terima kasih dan saya menyokong.
Belum buat kesalahan Yang Berhormat, kena tanya saja. Yang Berhormat Machang. (cid:2) 4.32 ptg.
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Alhamdulillaahi rabbil 'aalamiin wassolaatu wassalaamu 'alaa asyrafil anbiyaai wal mursaliin wa'ala aaliihi waashaabihi waman da'a bi da'watihi watamassaka bi sunnati wa jaahada fi sabiilillahi ilaa yaumiddiin... [Membaca sepotong ayat al-Quran daripada surah Ibrahim, ayat 28]. Maksudnya, “Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?” Tuan Yang di-Pertua, pada kesempatan mengambil bahagian dalam sesi perbelanjaan pada kali ini, suka saya mulakan dengan memetik satu maklumat daripada laman web Perdana Menteri yang melaporkan bahawa mengikut bank pelaburan Morgan Stanley, Malaysia mengalami kerugian lebih $100 bilion dolar Amerika akibat rasuah dari tahun 1984 hingga 2004, sumber laman web Perdana Menteri. Dalam laman yang sama Tuan Yang di-Pertua, ia juga mengungkap pengakuan daripada Ketua Pemuda UMNO Malaysia bahawa 10 peratus daripada perbelanjaan kerajaan tiris. Beliau memetik kenyataan beberapa pegawai sektor swasta bahawa umumnya, harga setiap pembelian kerajaan ditokok sehingga 50 peratus. Barangkali itu menjadi jawapan terhadap perkara yang dibincangkan oleh rakan-rakan saya yang awal tadi, bagaimana kisah laptop yang harga sekitar RM3-4 ribu jadi RM42 ribu, pokok bunga dari RM10 jadi RM40, walaupun cuba diberikan justifikasi dengan segala macam. Akan tetapi, sumber daripada laman web Perdana Menteri sendiri menyebut dan ini Tuan Yang di-Pertua, untuk kita. Kita memahami bahawa perbelanjaan kerajaan itu ibarat darah yang mengalir dalam sebatang tubuh, kalau tersalah potong, tersalah hiris, darah yang mengalir tidak terkawal itu akan menyebabkan tubuh menjadi lemah. Begitulah perumpamaan ketika kita berbahas tentang bajet ini. Tuan Yang di-Pertua, tajuk pertama yang saya hendak bincangkan ialah mengenai reformasi Parlimen. Kita baru saja menyambut atau sedang merayakan Parlimen ketika usia mencecah 50 tahun. Sudah tentu banyak perkara yang boleh kita teliti sama. Apa yang jelas saya perhatikan ialah sistem dokumentasi, archive dan Pusat Sumber Parlimen. Sepanjang setahun setengah menjadi Ahli Parlimen, Tuan Yang di-Pertua, saya berpendapat secara peribadi bahawa kerja dokumentasi dan archive di Parlimen kita tidak mencapai tahap yang memuaskan. Di Taiwan, contohnya Tuan Yang di-Pertua, terdapat lebih daripada 30 pangkalan data yang merangkumi biodata bekas Ahli Parlimen, berita dan keratan akhbar, butiran akhbar yang telah diluluskan, sistem pentadbiran pihak eksekutif dan lain-lain. Parlimen Malaysia saya dapati tidak menyediakan bahagian khas bagi menyimpan archives berkenaan, dengan peristiwa-peristiwa penting berlaku dalam Parlimen ataupun koleksi khas bagi hujah dan ucapan bekas-bekas Perdana Menteri. Di India, Parlimen mereka mempunyai bahagian khas bagi Mahatma Gandhi. Di dalamnya terdapat lebih daripada 2,500 buku dan mikro filem berkenaan dengan tokoh-tokoh mereka. Pusat Sumber di Parlimen Malaysia, saya berpendapat agak mendukacitakan jika dibandingkan dengan Pusat Sumber Parlimen lain. Dari segi sumber manusia dan simpanan buku, Parlimen Malaysia jauh ketinggalan. Di Amerika Tuan Yang di-Pertua, bilangan simpanan buku di Parlimennya ialah 130 juta, bilangan pekerjanya 3691. Di Korea, bilangan simpanan buku di Parlimennya 2.6 juta, bilangan kakitangannya 281. Di Sweden jumlah simpanan bukunya di pusat sumber ialah 700 ribu, kakitangannya 112 orang. Di Malaysia, bilangan simpanan buku 40 ribu, bilangan kakitangan 4 orang.
Jadi, ketidakseimbangan ini tidak memungkinkan pusat sumber ini menyumbang kepada mempunyai pangkalan data yang lengkap dengan maklumat ekonomi, sosial dan segala macam. Hanya terdapat beberapa buah komputer di dalamnya dengan kelajuan Internet yang tidak seberapa. Malahan tiada sistem carian buku digital di dalam pusat sumber dan peminjam buku dikehendaki mencari buku tanpa diberikan panduan dan rujukan yang jelas.
Barangkali pemerhatian saya ini salah kerana saya baru berada di sini dalam tempoh satu setengah tahun tetapi saya memerhatikan banyak ruang yang boleh kita baiki bersama sesuai dengan usia Parlimen yang menjadi lambang demokrasi lebih 50 tahun.
[Bangun]
Saya juga dapati bahawa pusat sumber di Parlimen tidak ditugaskan untuk mengumpul dan menyimpan penerbitan kerajaan, skrip-skrip penting negara dan penerbitan luar negara secara khusus. Ahli-ahli Parlimen juga tidak diberikan peruntukan tertentu untuk membeli buku dan bahan rujukan yang diperlukan. Tiada juga ruang yang disediakan khas bagi pihak media supaya mereka boleh menjalankan penyelidikan atau pun mencari maklumat di dalam Parlimen. Hasilnya kebanyakan teman-teman media terpaksa berkeliaran di ruang legar dan ini tidak memberikan mereka iklim yang kondusif untuk membantu sesuai dengan kedudukan mereka dan juga sebagai rakyat dalam institusi negara yang merdeka dan mengamalkan demokrasi. Ini jelas menunjukkan bahawa usia lebih lima dekad pemerintahan ini telah menyebabkan semacam pengabaian kebanyakan perkara penting misalnya penyelidikan, kemudahan intelektual dan infrastruktur asas bagi archive dan dokumentasi.
Minta penjelasan Yang Berhormat Machang.
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Machang. Sempena menyambut 50 Tahun Parlimen ini, saya rasa kita ramai yang menyambut baik dengan pembaikan infrastruktur dalam Dewan yang mulia ini. Akan tetapi pada masa yang sama pembekalan peralatan yang diadakan kamar ini, dalam Dewan ini amatlah dikesali sebab perjalanan operasi komputer yang dibekalkan amat lambat dan ini sebenarnya telah menyukarkan perjalanan tugas kami di dalam Dewan untuk membuat penyelidikan. Apakah Yang Berhormat Machang setuju dengan saya bahawa ramai di antara kami ini masih membawa notebook kita sendiri kerana operasi sistem komputer yang dibekalkan ini tidak efficient, tidak lancar. Apakah Yang Berhormat Machang juga akan bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab berapakah perbelanjaan digunakan untuk pembekalan peralatan komputer di dalam Dewan untuk Ahli-ahli dalam Dewan yang mulia ini.
Terima kasih rakan saya Yang Berhormat Batu Gajah. Saya bersetuju dengan perkara yang dibangkitkan kalau ianya berkaitan dengan bekalan komputer yang diletakkan. Saya faham dan menghormati dan menghargai ikhtiar pentadbiran Parlimen untuk membantu memudahkan kita. Akan tetapi hakikat bahawa saya juga membawa notebook saya Tuan Yang di- Pertua menjelaskan kalau saya buka ini pakai wireless lebih laju daripada yang dibekalkan ini, lebih laju. Itu sesuatu boleh kita baiki lagi, ada ruang, belum terlambat kerana kita baru mulakan. Ini masuk minggu yang kedua. Tuan Yang di-Pertua, saya juga menganggap dan berpendapat bahawa Parlimen kita juga harus mengambil pendekatan yang lebih proaktif. Saya mendapati kebanyakan rakan-rakan ataupun rakyat Malaysia yang melawat Parlimen, tidak banyak lokasi yang boleh mereka manfaatkan. Mereka boleh berada di ruang awam untuk 15 minit dan memerhatikan perjalanan Parlimen. Kalau waktu itu Parlimen berjalan dengan hujah-hujah yang tertib dan sopan serta membina, mereka akan membawa balik mesej yang baik.
Akan tetapi kalau kebetulan waktu itu berlaku insiden maki hamun, dia akan bawa balik cerita maki hamun. Akan tetapi mesejnya ialah kalaulah pelawat itu datang, ia bukan hanya tertumpu kepada lawatan sekejap 15 minit, tidak ada destinasi lain dan lokasi lain di sini. Mereka hendak pergi ke dewan makan di sana, pusat sumber di bawah, kita ada taman rusa. Ada lagi kah rusa? Tidak ada lagi barangkali, rusa tidak ada. Kemudian mereka boleh pergi dewan di sana, itu sahaja. Apa yang hilang di sini, apa yang saya anggap the missing element. Satu lokasi, satu premis yang menyimpan seluruh khazanah dan juga dokumen sejarah seawal kita memulakan amalan Demokrasi Berparlimen. Masuk sahaja premis itu, apabila mereka masuk dan melalui komponen-komponen dalam bahagian dewan atau bangunan itu, pada akhir mereka keluar, mereka mendapat maklumat yang berharga tentang peranan Parlimen, fungsi Parlimen dan kesan keputusan-keputusan rang undang-undang dan undang-undang yang dibuat oleh Parlimen ke atas kehidupan harian mereka. Saya ingin...
Minta laluan.
Ya, sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Machang. Saya ingin mengemukakan adakah Yang Berhormat sedar bahawa peruntukan yang telah pun diberi dalam bajet kepada Parlimen bagi tahun depan dan tidak jauh daripada tahun-tahun yang lalu adalah hanya RM66 juta sahaja. Oleh sebab itu, boleh jadi perkakasan di Parlimen ataupun perkhidmatan yang sedia ada di Parlimen itu tidak mencukupi dan kalau kita membandingkan dengan beberapa jabatan dalam Jabatan Perdana Menteri, kita boleh tengok betapa pentingnya Parlimen di atas, in the views of the government misalnya Unit Penyelarasan Pelaksanaan bajetnya RM422 juta, Unit MAMPU RM59 juta, unit satu lagi iaitu Unit Biro Tata Negara RM63 juta. So, Unit Biro Tata Negara macam setaraf dengan Parlimen dalam kepentingannya dari segi kewangan. Oleh sebab itu, Ahli-ahli Parlimen kita tidak mempunyai wang untuk rekrut katakan penganalisa, assistants yang boleh membantu kita untuk kerja-kerja di Parlimen. Akan tetapi nampaknya di pejabat-pejabat seperti di Biro Tata Negara banyak wang ada di sana. Minta pandangan.
Terima kasih rakan saya Yang Berhormat Petaling Jaya Utara. Itu hakikatnya, RM63 juta untuk Biro Tata Negara, RM100 juta untuk Permata Negara. [Ketawa] Akan tetapi untuk Parlimen tidak seberapa, secebis cuma. Jadi itu agak mengecewakan dan itulah hasilnya. Saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya isunya ialah kebijaksanaan dalam memperuntukkan sasaran kewangan menuju ke jabatan mana dan untuk tujuan apa. Buat masa ini Tuan Yang di-Pertua untuk tempoh lebih 50 tahun kita ini, sudah sampai masanya saya ingin mencadangkan agar satu premis atau bangunan dengan peruntukan RM15 juta atau RM20 juta untuk mengumpulkan seluruh khazanah dan juga dokumentasi sejarah kerana besarnya kesan institusi Parlimen ini dalam sejarah kemerdekaan dan demokrasi negara. Di sana terkandung segala macam rakaman dan catatan tentang perjalanan proses demokrasi di negara kita dan kita ada sebenarnya di Perpustakaan Negara, Jabatan Arkib Negara, perpustakaan universiti tetapi ianya bersepah dan berselerak dan ini satu perkara yang saya mohon mencadangkan. Tuan Yang di-Pertua, dalam kerangka yang sama reformasi Parlimen saya berpendapat bahawa pemberian ruang yang berpatutan kepada pembangkang haruslah diberi tumpuan. Peranan pembangkang dalam sebuah Parlimen Tuan Yang di-Pertua adalah untuk mengawal dan memantau tindak laku kerajaan supaya sebarang pelaksanaan dasar, penguatkuasaan rang undang-undang dan pembentangan usul mengambil kira pandangan lain dan sebarang penyalahgunaan kuasa dapat diperhati dan dikawal.
Peranan kita di sini walaupun berbeza parti dan kecenderungan bersama Barisan Nasional, kita bukanlah memainkan peranan yang destructive. Kita tetap warganegara Malaysia yang bertanggungjawab. Ini bumi kita, ini negara kita. Di mana bumi kita pijak, di situ langit kita junjung. Saya fikir, persepsi ini, tanggapan inilah yang kadang-kadang hati saya terasa sayu apakala mendengar beberapa pandangan rakan-rakan daripada Barisan Nasional yang semacam menganggap peranan pembangkang itu semata-mata mengkritik membabi buta. Di sana kadang-kadang kita mempunyai substance atau kandungan terhadap hujah kita yang kita teliti, kita lakukan kerja rumah dengan bersungguh-sungguh dan dengan cermat. Dalam konteks inilah ruang yang lebih bebas dan luas diberikan kepada barisan pembangkang misalnya Tuan Yang di-Pertua saya tahu banyak membuat bacaan dan kajian mengenai perjalanan beberapa institusi Parlimen di negara lain. Di British misalnya, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam dijawat oleh seorang Ahli Pembangkang, jawatankuasa tersebut pernah mendesak kerajaan mengubah dasarnya sebanyak 950 kali dalam masa dua tahun. Kita pula, saya pernah bangkitkan bersama rakan saya Yang Berhormat Ipoh Barat mengenai laporan PKFZ. Kementerian Pengangkutan dan Port Klang Authority beritahu dokumen sudah diserahkan kepada Setiausaha Dewan dan apabila kita minta katanya tunggu PAC selesai menjalankan tugas. (cid:1)(cid:1)(cid:1)(cid:1)
Pada masa yang sama di laman web Kementerian Pengangkutan sudah boleh download dokumen itu. Bukan sahaja document report tetapi juga appendixnya. So, tidak ada privilege, keistimewaan jadi Ahli Parlimen sedangkan dokumen telah dihantar. Jadi saya berpendapat, Jawatankuasa Kira-kira Awam bukan memainkan peranan untuk melambatkan akses Ahli Parlimen kepada dokumen seperti itu.
[Bangun]
Pada ketika, di luar sana, public atau khalayak telah pun mempunyai akses terhadap maklumat itu. Jadi, pandangan yang menyebut bahawa tunggu sampai PAC jalankan urusan kerja mereka dan ini tidak memberi ruang kepada kita akses kepada maklumat-maklumat semasa. Saya akan bagi kepada Yang Berhormat Kota Belud. Saya hendak habiskan ayat perenggan berikutnya. Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 1987, kerajaan British menginstitusikan jawatankuasa yang ada supaya semua kementerian dan badan yang dikuatkuasakan oleh akta diletakkan di bawah pemantauan Parlimen. Kebanyakan jawatankuasa pilihan terdiri daripada 12 ahli iaitu tujuh kerajaan dan lima pembangkang. Terdapat juga jawatankuasa gabungan yang menyelaraskan isu berkaitan dengan hal ehwal luar negara, pertahanan serta perdagangan dan ahlinya 30 orang, iaitu 11 Ahli Dewan Negara dan 19 Ahli Dewan Rakyat. Dalam perbahasan belanjawan di British misalnya, pembangkang diberi 19 hari untuk memilih perkara yang perlu dibincangkan.
[Bangun]
Kita lapan hari? Lapan hari. Ini 19 hari. Ya, amalan persidangan yang sedia ada di Malaysia lebih memberi keutamaan yang terlampau banyak kepada rang undang-undang kerajaan hingga mengabaikan private members bill, dengan izin. Oleh yang demikian, Ahli Parlimen yang tidak memegang apa- apa portfolio kementerian langsung tidak berpeluang membentangkan private members bill dalam Dewan Rakyat. Di Britain, lima daripada 38 rang undang-undang yang diluluskan 2003 hingga 2004 adalah private members bill. Sejak 1950, 719 private members bill telah diluluskan. Private members bill terakhir yang diluluskan di Malaysia ialah 1959. Dalam konteks Malaysia, adalah sukar bagi pembangkang mengemukakan sebarang rang undang-undang. Ia biasa diabaikan atau diketepikan. Misalnya rakan saya dari Subang pernah dalam sesi lepas mencadangkan satu private members bill, Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat yang dikemukakan di dalam Dewan tetapi ditolak di dalam kamar. Berkenaan dengan sesi pertanyaan bagi soal jawab lisan, tempoh satu setengah jam tidak mencukupi amalan sekarang.
Saya berpendapat sesuai dengan peranan dan saiz keanggotaan Ahli Parlimen yang hampir seimbang ini, diberikan tumpuan masa yang lebih. Dua jam barangkali dengan Perdana Menteri diperuntukkan masa khas beritahu hari-hari tertentu yang dia akan hadir khusus untuk menjawab soalan daripada Ahli Parlimen. Sila, rakan saya Yang Berhormat Kota Belud.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Machang. Soal PAC, saya adalah salah seorang daripada Ahli PAC. Saya rasa tadi kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Machang itu tidak begitu tepat. Pertama sekalinya ialah dokumen-dokumen yang telah diserahkan kepada PAC itu mengandungi dokumen-dokumen Jemaah Menteri. Nota-nota Jemaah Menteri, minit-minit mesyuarat Jemaah Menteri dan oleh kerana itulah supaya kita tidak melanggar Akta OSA itu, maka kita terpaksa meminta penerangan, penjelasan daripada Peguam Negara. Sebab itulah walaupun Kementerian Pengangkutan mungkin mengeluarkan dokumen-dokumen tersebut melalui websitenya, tetapi PAC tidak boleh mengeluarkan dokumen-dokumen tersebut kerana ada kandungan-kandungan minit mesyuarat yang perlu diclassify dahulu sebelum kita keluarkan. Itu satu. Yang keduanya Yang Berhormat Machang, saya bagi cadanganlah. Daripada Yang Berhormat Machang mengatakan bahawa PAC tidak telus kerana pengerusinya adalah daripada Barisan Nasional, mari kita mula di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan. Di Pulau Pinang saya mahu tanya siapa Pengerusi PAC Negeri Pulau Pinang? Adakah daripada pembangkang atau Barisan Nasional ataupun daripada kerajaan negeri? Kerajaan yang didukung oleh PKR atau Pakatan Rakyat. Kalaupun Pulau Pinang itu jauh, kita pergi kepada negeri yang didukung oleh parti Yang Berhormat Machang sendiri iaitu negeri Selangor. Siapa Pengerusi PAC di Selangor? Cuba ubah dahulu di negeri masing- masing. Kalau boleh diubah di sana, mungkin kita boleh bawa perkara ini di sini. Jangan pergi ke Parlimen dan minta itu ini sedangkan di negeri masing-masing yang diterajui oleh Pakatan Rakyat, political will itu pun tidak ada. Jadi saya minta penjelasan adakah ini double standard yang diolah di sini? Terima kasih.
[Bangun]
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih rakan saya Yang Berhormat Kota Belud. Yang pertama, Yang Berhormat Kota Belud barangkali ada sedikit salah faham dalam maksud saya. Laporan PKFZ telah diserahkan kepada Parlimen. Itu fakta pertama. Kenyataan media Menteri Pengangkutan ialah Ahli Parlimen akan mendapat naskhah tersebut pada sidang yang lepas. Itu fakta yang kedua. Saya dan Yang Berhormat Ipoh Barat membangkitkan perkara ini ketika persidangan lepas apabila pada akhir hari persidangan tiada laporan itu diletakkan di atas meja Ahli Parlimen. Itu fakta ketiga. Penjelasan dipohon. Jawapan yang diberikan ialah PAC masih lagi meneliti isu PKFZ. Sebab itu, laporan yang dihantar oleh PKFZ kepada Parlimen untuk tujuan diagihkan kepada Ahli Parlimen tidak boleh diberikan. Pada masa yang sama, yang saya sebut ialah di laman web kementerian, telah pun khalayak boleh membuat capaian atau akses bagi mendapatkannya. Jadi isunya ialah, dengan alasan PAC belum menyelesaikan tugasan mereka, dokumen laporan itu yang sebenarnya telah pun boleh diikuti oleh khalayak, tetapi tidak boleh diperoleh oleh Ahli Parlimen dalam bentuk versi cetak. Itu ceritanya. Jadi tidak timbul soal dokumen Kabinet dan sebagainya. Perkara yang kedua, yang membezakan saya dengan Yang Berhormat Kota Belud ialah saya berpendapat apabila bercakap tentang reformasi Parlimen, semangat ini harus diikuti oleh semua pihak. Ini bukan masa menuding jari. Saranan Yang Berhormat Kota Belud bahawa negeri-negeri Kerajaan Pakatan Rakyat juga harus melaksanakannya, saya 100 peratus setuju. Yang sedang kita bicarakan ialah reformasi Parlimen. Rakan-rakan kita di negeri-negeri sudah tentulah mempunyai semangat yang sama. Itu kita serahkan urusan mereka. So, tidak payah ada sangkaan buruk atau innuendos dalam membahaskan ini. Lapang dada, buka kepala dan bernafas dengan lebih segar dan bergaya. Sila.
Yang Berhormat Machang, apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Kota Belud. Yang pertama di Pulau Pinang kami memang ingin hendak melantik pembangkang untuk menjadikan Pengerusi PAC tetapi untuk tahun ini, apa yang akan disemak oleh PAC adalah akaun-akaun oleh Kerajaan Barisan Nasional yang dulu. Jadi, dia tidak boleh conflict of interest... [Dewan riuh] Yang kedua, bolehkah pihak di sana kita boleh sama-sama bersetuju tidak kira di Parlimen atau di mana-mana kerajaan negeri kita semua gunakan satu standard, 1Malaysia punya standard iaitu Pengerusi PAC, semua dilantik dari pembangkang. Kalau boleh tidak ada masalah. Apakah pendapat Yang Berhormat Machang?
Saya setuju dengan Yang Berhormat Bukit Mertajam.
[Bangun]
Senior saya semasa dekat universiti. Banyak persamaan dari segi pandangan. Ayuh kita mulakan perubahan, ya. Saya fikir itu semangat saya kita hendak bawa. Masih dalam konteks reformasi Parlimen, Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Machang.
Ya, sila.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan Yang Berhormat Machang. Saya setuju dengan Yang Berhormat Kota Belud dalam satu hal iaitu kalau hendak ada perubahan dan reformasi, ia mesti bermula daripada negeri-negeri Pakatan Rakyat, kerana kalau kita hendak harapkan Barisan Nasional membawa perubahan, memang cukup susah ya. Dalam soal ini, saya rasa di negeri Selangor walaupun ia masih lagi merupakan satu usaha yang mungkin ada kekurangan. (cid:1)(cid:1)(cid:1)(cid:1)
Akan tetapi apa yang telah dimulakan dengan SELCAT iaitu jawatankuasa Selangor Competency Accountability and Transparency yang disokong oleh walaupun Datuk Dr. Hassan Ali, telah merupakan satu usaha yang baru, yang baik, yang telah mendedahkan banyak penyelewengan khususnya berhubung dengan isu BALKIS dan bagaimana wang rakyat telah dibazirkan dan kaedah soal siasat yang telus dan terbuka mungkin saya rasa kita boleh cadangkan kepada MACC ataupun SPRM untuk menentukan bahawa tidak ada arm twisting tidak ada tindakan-tindakan yang menghina, melampaui batas sehingga boleh menyebabkan orang-orang yang dipanggil untuk memberi penjelasan tiba-tiba mati. Perkara yang seperti itu memang tidak boleh berlaku dalam sesi soal siasat dan penerangan...
Tuan Yang di-Pertua, melencong jauh ini Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, tolong buat ruling. Jauh.
Tuan Yang di-Pertua, saya rasa mungkin Yang Berhormat Kota Belud ini Ahli Parlimen yang baru ke dia tidak tahu undang- undang. Saya tengah berucap ya.
Saya minta ruling lah ini Tuan Yang di-Pertua.
Lalu ini merupakan satu amalan yang cukup baik yang mungkin kita boleh kemukakan untuk diambil kira dan untuk dicontohi oleh PAC dan juga oleh badan-badan yang seperti MACC. Mungkin pandangan daripada Yang Berhormat Machang berhubung dengan perkara ini. Terima kasih.
Boleh Yang Berhormat Machang? Tambahan.
Yang Berhormat, duduk dulu Yang Berhormat. Saya hendak sebut sikit ini. Saya melihat rekod perbahasan kita dan kita mengadakan beberapa perbincangan supaya perbahasan yang dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen tidak lebih jauh panjang daripada apa yang dibuat oleh Ketua Pembangkang. Jadi saya mintalah Yang Berhormat, kerjasama supaya oleh kerana banyak sangat pencelahan, ia akan berlarutan Yang Berhormat. Sila Yang Berhormat Machang.
Terima kasih. Masih dalam konteks yang sama Tuan Yang di-Pertua. Tadi saya memberikan beberapa pandangan mengenai aspek pembaharuan dan nilai tambah yang saya anggap munasabah untuk dipertimbangkan dari segi dokumentasi dan aset-aset lama Parlimen ini. Sepanjang ingatan sayalah Tuan Yang di-Pertua, Parlimen kita ini pernah menerima hadiah Kerusi Speaker pada 2 November 1963, beberapa bulan sebelum saya dilahirkan. Kerusi tempat duduk Speaker ini Yang Berhormat Putatan, dahulu House of Commons pernah hadiah, hari ini hilang tidak tahu pergi mana. Tidak tahu ke mana kerusi itu. Jadi, itu kerusi Speaker, banyak lagi itu yang tidak accounted itu, banyak lagi. Walaupun barangkali nilai itu kecil, apa sangatlah kerusi tetapi nilai sejarahnya yang hendak kita kongsi bersama generasi akan datang. Jadi dalam semangat inilah Tuan Yang di-Pertua, saya memberikan point saya yang terakhir mengenai privacy Parlimen walaupun saya tidak berniat untuk menyerang atau menegur atau mengkritik semberono. Isunya ialah sejak Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan pada 1992, peruntukan dan bidang kuasa Parlimen telah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri adalah cabang Eksekutif. Prinsip pengasingan kuasa waktu itu sudah roboh temboknya. Selepas itu kebebasan dan kedaulatan Parlimen saya anggap terhakis dan doktrin pengasingan kuasa tidak lagi dijunjung. Inilah yang kita perhatikan. Kita perhatikan pegawai PTD daripada cabang Eksekutif, saya fikir Setiausaha Dewan itu sebenarnya paling besar pengaruh bukan Ketua Pentadbir. Saya hendak tekankan ini dengan premis bahawa hubungan saya dengan seluruh kakitangan Parlimen baik Ketua Pentadbir dan Setiausaha Dewan itu saya pertahankan tetapi atas perkara prinsip, apabila Akta Perkhidmatan Parlimen 63 itu dimansuhkan, maka kuasa Parlimen diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri dan di situ ada masalah daripada segi urusan saya anggap kerana hal yang telah kita lalui sepanjang setahun setengah ini memberikan isyarat kepada kita bahawa campur tangan yang berlebihan cabang Eksekutif ke atas urusan Parlimen yang berkuasa terhadap institusi Parlimen adalah Speaker yakni Tuan Yang di-Pertua dan seluruh anggota kakitangan di bawahnya. Jadi, kakitangan di bawahnya pula misalnya bahagian saya tengok keselamatannya, kakitangan sokongan bawah-bawah ini. Rumahnya itu saya tanya dua, tiga orang nun jauh. Duduk di Langat, duduk di Taman Bukit Mahkota, jauh. Kadang- kadang urusan mereka itu dalam perjalanan ini saya hendak cadangkan Tuan Yang di- Pertua, kuarters kakitangan bawahan untuk Parlimen ini sudah perlu dibuat. Ini sudah sampai masanya lah. Biar mereka itu, jarak mereka dengan tempat kerja Parlimen itu sepelaung jaraknya. Jadi dia tidak payah fikir lagi, tidak terdedah kepada bahaya perjalanan dan sebagainya dan ini saya fikir bukanlah satu perkara yang luar biasa untuk kita minta kerana sokongan daripada kakitangan bawahan, baik keselamatan, baik kakitangan sokongan, baik bentara dan segala macamlah ini akan membantu memperkemaskan lagi. Tuan Yang di-Pertua, bagi membolehkan pembangkang memenuhi tugas kerja, saya juga meneliti dokumen dan amalan Kerajaan British yang menubuhkan Geran Bantuan sejak tahun 1975. Bantuan tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian. Skim Bantuan Asas, Bayar Balik Perbelanjaan Pengangkutan dan Bantuan Kewangan untuk Operasi Pejabat Ketua Pembangkang. Skim Bantuan Asas diberi berasaskan bilangan kerusi dimenangi dan jumlah undi yang dapat. Mulai April 2002, sejumlah RM11,411 telah diperuntukkan kepada seorang Ahli Parlimen dan RM22.79 bagi setiap 200 undi yang diberi. Selain itu, sejumlah RM125,350 telah diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan semua ahli pembangkang.
Pejabat Ketua Pembangkang pula mendapat RM531,621. Kadar ini meningkat setiap tahun mengikut indeks harga. Skim Bantuan Asas hanya boleh digunakan untuk tugasan Parlimen misalnya penyelidikan berkaitan kementerian, penggubalan dasar atau akta alternatif dan untuk membentuk Shadow Cabinet atau Kabinet Bayangan. Sementara itu, Ahli Parlimen dilarang menggunakan skim bantuan ini untuk aktiviti yang berkaitan dengan parti ataupun kempen politik. Saya mencadangkan agar praktis atau amalan yang sama juga dapat dipertimbangkan. Tuan Yang di-Pertua, saya berganjak kepada point saya yang kedua. Dalam Dewan yang mulia ini sesi lepas, saya telah memetik beberapa angka mengenai aktiviti terkini eksplorasi petroleum di Kelantan. Hari ini saya membawa salinan perjanjian antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 9 Mei 1975, di mana Petronas diwakili oleh Tengku Razaleigh Tengku Mohamad Hamzah, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas bagi pihak Petronas dan bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan ialah Datuk Haji Muhammad Nasir. Maknanya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Petronas telah mengikat perjanjian dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Apakah butiran perjanjian itu? Ceritanya mudah, setahun Petronas akan bayar royalti secara tunai dua kali. Hari ini, aktiviti petroleum benar-benar wujud di Kelantan. Saya, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Rantau Panjang, Yang Berhormat Kubang Kerian dan Yang Berhormat Shah Alam naik bot pergi ke Cakerawala, Kedudukan N07 dan E103, Utara 07 dan Timur 103.05.50. Daripada situ kita dapati bahawa terdapat aktiviti petroleum memunggah hasil atau mengusahahasilkan di Telaga Cakerawala, Puteri Cakerawala, Bulan Alfa, Suria Alfa, Bumi Alfa, Lawet, Jernih, Bunga Orkid Alfa, FSO Bunga Orkid dan juga Bunga Raya Alfa. Semuanya ini berada pada kedudukan yang sangat hampir dengan perairan Negeri Kelantan. Isunya ialah kalau perjanjian ada, aktiviti mengusahahasilkan petroleum juga ada, bahkan dalam seminar EPU, Jabatan Perdana Menteri telah dimaklumkan bahawa RM2,615 juta bagi tahun 2006 dan RM22,721 juta bagi tahun 2005 adalah merupakan angka hasil daripada usaha mengambil hasil daripada petroleum yang diungkap di dalam Jabatan Statistik Negara.
Jabatan Statistik Negara memaklumkan bahawa kesahihan data adalah berpunca daripada Petronas. Dalam erti kata lain yang difahami dari seminar sehari mengenai adjustment KDNK Negara itu ialah Petronas telah pun terlibat dalam mengusahakan hasil petroleum dan gas asli di Kelantan sejak tahun 2005 lagi. Kalau alasannya ialah itu terletak di kawasan bertindih atau joint development area, maknanya ada pertindihan tuntutan dengan Thailand. Tidak mengapa Thailand ambil 50 peratus, kita ambil 50 peratus. Dalam semakan kita dalam laman web Kastam Thailand tercatat di sana 50 peratus sebahagian Kastam Thailand itu untuk tempoh daripada 2005 sehingga sekarang jumlahnya lebih RM4 bilion. Maknanya tuntutan royalti Kelantan di atas kawasan yang dikatakan bertindih ialah di atas portion 50 peratus milik Kerajaan Malaysia. 50 peratus itu kalau kita nisbahkan dengan maklumat Jabatan Kastam Thailand yang boleh kita ambil daripada laman webnya bernilai lebih RM4 bilion. Lalu kita kemukakan tuntutan itu dalam bentuk memorandum of claim daripada kerajaan negeri setebal 43 muka surat kepada Kerajaan Pusat diikuti dengan surat rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kemudiannya memaklumkan kepada Kerajaan Kelantan bahawa kerajaan sedang menubuhkan Jawatankuasa Teknikal. Isunya ialah siapakah yang menduduki Jawatankuasa Teknikal ini, apakah terma-terma yang diberikan kepada mereka, berapa lama time frame atau jangka masa untuk mereka menyelesaikan isu ini kerana dari sudut perundangan dan dari sudut lokasi hampir dengan perairan Kelantan, biarpun yang dikatakan itu kawasan perairan yang menjadi tuntutan bersama tetapi saya berpendapat bahawa ianya sudah terlalu terang untuk menafikan hak Kerajaan Kelantan untuk memperoleh royalti ini.
Isu saya yang ketiga Tuan Yang di-Pertua, ialah isu yang berkaitan Kementerian Pertahanan. Tuan Yang di-Pertua, saya menyemak daripada Kementerian Pertahanan daripada laporan tahunan 2008, Kementerian Pertahanan Malaysia public document ianya bercakap mengenai dasar pertahanan negara. Ada dua versi, satu versi rahsia itu kita tidak hendak persoalkan, itu untuk pegawai-pegawai tentera, panglima-panglima ketika perkhidmatan, panglima medan dan sebagainya itu kita akui. Di sini disebut bahawa dasar pertahanan negara versi terbuka untuk makluman awam sedang digubal. Saya hendak tanya bilakah versi terbuka ini boleh menjadi tatapan umum untuk membantu kita rakyat memahami isu-isu mengenai dasar pertahanan negara. Tuan Yang di-Pertua, pasukan wataniah adalah satu pasukan yang penting. Kalau mengikut polisi kementerian, satu anggota tetap, tiga anggota simpanan. Mereka sepatutnya memiliki 16 rejimen, 43 batalion dengan kekuatan hampir 60,000 dengan sasaran tercapai 2010, maknanya tinggal berapa bulan lagi. Saya berpendapat sasaran ini tidak kesampaian. Antara lain kerana ramai yang tidak berminat menyertai pasukan wataniah. Amalan selama ini ialah memberikan kolonel terhormat kepada VVIP, Menteri Besar negeri ini mendapat kolonel, Menteri Besar negeri ini mendapat kolonel. Ada Menteri Besar mendapat kolonel terhormat, selepas itu bertanding jawatan parti dia, disqualified pasal rasuah. Ini tidak mendorong orang untuk mendaftar jadi wataniah. Orang tidak berminat kolonel terhormat hendak bertanding parti dia disqualified. Disqualified pula pasal rasuah. Jadi kena kaji balik. Antaranya saya dapati bahawa modul yang betul-betul menarik itu tidak wujud. Siapa yang melatih? Melatih kebanyakan pegawai- pegawai tentera yang dianggap bermasalah. Istilahnya second class officer. Yang ini kamu ditugaskan latih wataniah. Elaun pula tidak sampai RM4 sejam. Sehari lapan jam, empat kali lapan RM32. Sebulan dalam tujuh atau lapan kali. Berapa duit sangat yang dia dapat. Tidak ada kem yang proper dengan kemudahan-kemudahannya. Di mana mereka dilatih? Di padang sekolah, di padang awam, di tepi bukit. Tidak ada satu kem wataniah yang betul- betul mendorong mereka berminat. Saya katakan ini sebab pertahanan negara kita ini penting. Pertahanan darat adalah keutamaan kita. Kalau di Amerika pertahanan laut, kalau di Singapura pertahanan udara dengan polisi forward defense. Maknanya kalau musuh mendarat di pulau itu, habis dia. Kita adalah pasukan darat. Pasukan darat bukan sahaja anggota tetap, tetapi juga anggota wataniah. Satu skim program yang lebih menarik, mestilah diberikan pertimbangan. Selain daripada wataniah, saya ingin bergerak kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan peralatan ketenteraan. Tuan Yang di-Pertua, payung terjun misalnya beberapa bulan kebelakangan ini memakan korban yang agak menyedihkan. Di Kulim seorang komando mati terhempas sebab payung terjun dia yang dibekalkan oleh Puspamara jenama Saviac teknologi Afrika terjun daripada pesawat terus tidak kembang. Yang Berhormat Pontian, tidak kembang Yang Berhormat Pontian. Mati dia. Yang Berhormat Pontian saya tahu dia rapat dengan Yang Berhormat Pekan, terus bisik. Sebelum ini casualty itu kurang, waktu menggunakan payung terjun MC1BD, dan juga KST 10 tidak banyak. Sekarang dibuat jenama Saviac saya difahamkan pasukan komando kita di Melaka itu tidak hendak pakai payung terjun ini. Yang pakai apa, pasukan para. Para dipaksa pakai. Dahlah dipaksa pakai, tidak cukup pula, kena kongsi bersama. Adanya 400 lebih sahaja, keperluan berapa? 1000. Apa sangatlah 1000 ini hendak tambah 600 untuk cukup. Sekarang 400, peralatan tidak cukup, yang ada pula terdedah kepada bahaya. Yang mati kerana salah baca angin di Langkawi, yang mati di Kem Sungai Udang, yang mati terhempas di Kulim dan ini saya fikir sudah sampai masanya kes-kes ini diberikan perhatian, peralatan yang cukup dan standard mengikutnya. Kadang-kadang dalam perolehan peralatan tentera Tuan Yang di-Pertua, kadang- kadang keputusan politik mengatasi Jawatankuasa Teknikal ataupun Jawatankuasa Fizikal dan Kewangan kadang-kadang. Pegawai-pegawai sudah buat inspection dengan izin. Penelitian harga dibuat, kualiti dan spesifikasi dijalankan tetapi keputusan politik memansuhkan semua pertimbangan itu. Akibatnya peralatan yang digunakan itu tidak mengikut standardnya. Sudahlah kurang, tidak cukup. Peralatan yang tidak cukup ini misalnya kalau berlaku di Kem Pusat Latihan Peperangan Khas ini yang latih komando.
Kolam renang, tidak ada Tuan Yang di-Pertua. Dia bukan macam kolam renang biasa, lima kaki. Dia hendak latih terjun. Dia kena ada 20 kaki dalam, sekarang tidak ada. Berapa lama kita latih komando, tidakkanlah satu kemudahan yang macam ini tidak ada. Tempat pemerhatian, riggernya, tempur jarak dekat, cawangan muslihat khas, free fall tactic segala macam dalam tempoh tiga bulan pertama ini kita dapati bahawa masih memerlukan dengan banyak. Akibatnya kadang-kadang latihan ini memerlukan mereka berpindah untuk menikmati facilities lain. Latihan komando itu di Kem Sungai Udang tetapi kerana kemudahan tidak cukup, mereka terpaksa bawa ke Lumut kerana kemudahan kolam renang ada di sana. Ini melecehkan sebenarnya. Saya juga difahamkan ada beberapa lokasi kem tentera sekarang seperti 11 Rejimen Khas 21 komando, Pusat Latihan Peperangan Khas yang akan diambil oleh Petronas untuk dimajukan. Saya hendak tanya bagaimanakah rancangan pembangunan ini dibincangkan,apakah ianya melibatkan faedah dan keuntungan yang seimbang pada Kementerian Pertahanan. Kalau dimajukan apakah tanah itu diambil oleh Petronas dan Petronas diminta memajukan kem lain dengan kemudahan yang lebih baik. Saya memerlukan penjelasan kementerian di sin.
Tuan Yang di-Pertua, keadaan berek bujang di kebanyakan kem pertahanan di negara kita amat menyedihkan. Keadaan kem terutama berek bujang sangat daif. Tandasnya kotor, dindingnya berlubang, tangki airnya karat dan ini tidak menyumbang kepada tentera bertaraf dunia yang menjadi ikrar oleh kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan. Bekalan-bekalan peralatan asas from head to toe, dari kepala sampai ke kaki ada 17 jenis iaitu tuala, stoking, baju dalam, seluar dalam dan semuanya ada 17 item. Kualitinya, “Tan Sri” Yang di-Pertua, dia orang bawa jumpa saya masa kempen di Bagan Pinang baru-baru ini. Yang Berhormat tolong bawalah.
Belum Tan Sri lagi, Yang Berhormat.
Ya?
Belum Tan Sri lagi.
[Ketawa] Tuan Yang di-Pertua. Isunya apa? Dia kata, “Yang Berhormat, t-shirt kami ini sekali basuh, longgar dan habis londeh.” Kualitinya itu. Jadi syarikat yang membekalkan ini, tolonglah jangan ambil keuntungan luar biasa dan Jawatankuasa Perbekalan yang membuat keputusan ini juga kena semaklah. Hari Rabu dan juga hari Jumaat, Tuan Yang di-Pertua, kebanyakan pegawai tentera suka main golf. Saya juga main golf. Yang Berhormat Putatan pun main, saya tahu, ramai yang main. Kita akan ada tournament golf antara BN dengan Pakatan, insya-Allah, dalam sedikit masa lagi. Kita boleh tengoklah siapa menang main golf. Baik! Saya perhatikan hari Rabu, ramai pegawai tentera di padang golf. Menggunakan kenderaan tentera, di Kelab Golf Bangi, Kelab Golf Templer dan Kelab Golf Seri Selangor. Saya tengok dia orang ini main golf masa kerja. Menjadi polisi kah Kementerian Pertahanan? Hari Jumaat juga sama, sudah tidak sembahyang Jumaat puak ini. Saya perhatikan, pertamanya dia gunakan kenderaan rasmi Kementerian Pertahanan. Kedua, dia main golf waktu pejabat. Ketiga, hendak habiskan 18 lubang Tuan Yang di-Pertua, empat jam tidak termasuk masa rehat, lama itu. Kalau seminggu dua hari main golf, tinggal berapa hari lagi dia hendak jaga kementerian dan jabatan? Saya ingat kementerian perlu ada satu jawapan terhadap fenomena ini. Ini satu perkara. KAGAT juga saya dapati bahawa fungsi dan peranannya jangan hanya bersifat ceremonial, baca doa. Ada yang saya tahu secara fakta. Saya tidak lama, cuma empat tahun di Kementerian Pertahanan, jawatan kecil sahaja iaitu Setiausaha Politik Menteri Pertahanan.
Besar itu, Yang Berhormat.
Saya tahu bahawa wujud keadaan di mana anggota tentera kita baca al-Quran pun tidak boleh, niat mandi wajib pun tidak boleh dan ini berat. KAGAT pada saya yang sekarang dipegang oleh one star or two star General, fungsinya itu mesti kembali diteliti dan diperbaiki lagi supaya hal-hal seperti ini tidak berlaku. Perkara di bawah Kementerian Pertahanan juga, Tuan Yang di-Pertua, ianya berkaitan dengan kenderaan ADNAN dan Armoured Personnel Carrier (APC), bawah DRB ditempatkan di Gemas, Rejimen Ke-11 Kor Armor. Ada 18 unit, saya dengar ada banyak masalah, ada yang belum di komisen kan. Sistem persenjataannya itu selalu ada masalah. Meriam kalau ditembak sekali, spring itu tidak boleh masuk balik, ini masalah. Pegawai-pegawai ini kata, Yang Berhormat, kami sudah kemukakan kepada pihak atasan tetapi tentera ini ia sangat regimented. Khabarnya juga, Tuan Yang di-Pertua, kapal selam baru kita yang baru beli, baru sampai dan baru-baru ini Timbalan Menteri Pertahanan jawab dikhabarkan dalam perjalanan ke Sepanggar, ada beberapa tempat yang ia tidak boleh selam. Akibatnya kapal pengiring terpaksa dihantar. Kalau sudah kapal selam tidak boleh selam, berat ini. Baik. Kalau terjadi tragedi kapal selam, saya hendak tanya kementerian, sudah adakah rancangan untuk membeli atau memiliki atau merancang apa-apa unit penyelamat kapal selam, kalau ada tragedi. Kita sudah ada, Singapura ada empat, Indonesia akan ada tiga atau empat. Kita sudah ada, sudah sampai. Takdir, katalah berlaku, jangan sampai susah terhantuk baru tengadah. Takdirnya berlaku esok lusa, macam manakah unit penyelamat kapal selam, macam mana hendak selamatkan krew yang ada di dasar laut? Yang Berhormat Timbalan Menteri, rakan saya dari Mersing, saya percaya sedang khusyuk mendengar walaupun saya tidak berapa nampak mata dia celik [Ketawa] tetapi saya tidak mahu pertikai dia. Sebab dalam ramai-ramai sahabat Nabi, Tuan Yang di-Pertua, Sayidina Ali kalau dengar Nabi ceramah, matanya pejam dan kepalanya tunduk, sebab dia pegang khusyuk bukan pada mata tetapi pada hati. Sayidina Ali ini sahabat yang paling pintar. Nabi kata, [Bercakap dalam bahasa Arab] “Aku ini gedung ilmu dan Ali itu pintu gerbangnya.” Itu makam ilmu Sayidina Ali. Jadi saya nampak Timbalan Menteri Pertahanan kita ada sampai makam itu, [Ketawa] tinggi makam Sayidina Ali itu ya. Tuan Yang di-Pertua, habis Kementerian Pertahanan. Akhirnya, Tuan Yang di-Pertua, lima minit masa saya. Saya mengikuti ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Saya tekun membaca kenyataan-kenyataan, ini cerita mengenai kenapa dasar ekonomi gagal. Di pihak kita jelas, Dasar Ekonomi Baru itu cukuplah 70 hingga 90, cukup 20 tahun pelaksanaan. Hakikatnya 19 peratus sahaja ekuiti bumiputera tercapai. Apa sebabnya? Kata Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dilaporkan pada 3 Ogos 2009, katanya kalau dihitung dari tahun 1970, ini soal agihan saham bumiputera sahaja. DEB kata 30 peratus agihan saham mesti dapat pada bumiputera. Kalau ada satu syarikat asing hendak disenaraikan, 30 peratus tolak daripada bumiputera. 30 peratus, 30 peratus dari tahun 1970 sehinggalah sekarang, to date Dato’ Sri Najib kata, nilai 30 peratus dalam bentuk Ringgit Malaysia, jumlahnya ialah RM54 bilion dari tahun 1970. Hari ini, yang tinggal di tangan bumiputera ialah RM2.4 bilion sahaja, baik. Yang menariknya, kata Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak ialah dengan izin, he pointed that “Those who received shares were not ordinary folk but mostly influential people, who sat in the front rows at functions such as Tan Sri and Dato’ Seri.” Maknanya yang dapat syer 30 peratus, kebanyakannya Tan Sri dan Dato’ Seri, dia bukan Pak Leh di Kampung Berangan Mek Nab. Dia bukan Pak...
Datuk pun tidak dapat.
Datuk pun ada yang tidak dapat. [Ketawa] Dia bukannya Mak Ngah di Pasir Mas. Dia bukan Mak Teh di Tong Pelu, Pedu. Dia bukannya Ah Chong di Kampung Baru Pokok Sena. Dia ialah Tan Sri dan Dato’ Seri. Sejak tahun 1970, RM54 bilion mereka boleh menjadi orang kaya yang mudah, belum OP dan belum lesen perniagaan. Mereka inilah yang betul-betul mempertahankan Dasar Ekonomi Baru kerana perut mereka yang gendut dan kenyang dulu sebenarnya. Bukan saya kata Tuan Yang di-Pertua, yang gendut itu saya katalah. Yang Perdana Menteri sebut ialah “This is why bumiputera equity had been at only 18.9 peratus for the past 19 years,” Siapa dia? Tan Sri dan Dato’ Seri. Yang mana ini? Yang duduk row depan bila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bercakap. Mereka yang dapat, saya tidak dapat, Yang Berhormat Batu tidak dapat, Yang Berhormat Batu Pahat rakan saya, saya yakin tidak dapat... [Disampuk] [Ketawa] Yang Berhormat Bera saya tidak tahu. Yang Berhormat Putatan saya was-was... [Ketawa] boleh jadi dapat. Yang Berhormat Labis saya tidak tahu dapat kah atau tidak. Yang jelas, those are Tan Sri and Dato’ Seri. Patutlah sungguh-sungguh pertahankan dasar ini. Pegawai kerajaan, kerani, penolong pendaftar dan penolong pengarah tidak dapat. Selama puluhan tahun, itu baru saham. Rakan saya dari Mersing lumayan, saya tahu... [Ketawa] Sebab itu semasa pemilihan parti 1973, disqualified tidak layak bertanding Exco Pemuda UMNO masa itu. baik. Isunya, Tuan Yang di-Pertua, jawapannya sudah ada dan ini konsisten dengan pendirian kita. Satu minit masa kecederaan, Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak bangkitan satu perkara sahaja. Saya teliti dalam muka surat 634, Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan. Saya dapati perbelanjaan Maksud Pembangunan, tiga perkhidmatan, saya dapati di bawah Butiran 00800 kelengkapan, anggaran untuk tahun depan cuma RM10. Sebelum itu tahun lepas RM77 juta, pada tahun 2008, RM245 juta, tahun 2006, RM252 juta dan tahun 2010 tinggal RM10. Kenapa perbelanjaan tiga perkhidmatan di bawah sub topik Kepala Kelengkapan ini tinggal RM10? Apakah ianya hendak tunggu Belanjawan Tambahan akan datang atau bagaimana? Tuan Yang di-Pertua, sebelum Tuan Yang di-Pertua menegur dan minta saya berhenti, saya akhiri...
Saya tidak tegur, saya tanya sahaja.
Ya, saya sudah habis Tuan Yang di-Pertua. Saya hargai kesabaran Tuan Yang di-Pertua dan saya dengan ini mengucapkan terima kasih kerana dapat mengambil bahagian pada kesempatan kali ini. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.
Ahli- ahli Yang Berhormat, masa untuk hari ini telah tamat. Jadi persidangan ditangguhkan dahulu hingga pukul 10.00 pagi esok, Yang Berhormat. Dewan ditangguhkan pada pukul 5.30 petang.