Dewan Rakyat · 10 June 2010
15th Parliament, session 3, meeting 2 · 203 turns · 18,886 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat]
Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang] minta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan:- (a) usaha berterusan terhadap pembugaran segala peninggalan sejarah sama ada bentuk fizikal seperti batu bersurat dan lain-lain atau dokumen lama yang tersimpan dan di luar negara; dan (b) kefahaman rakyat Malaysia tentang ketuanan Melayu itu sendiri.
Selamat pagi dan Salam 1Malaysia. Terima kasih Yang Berhormat Ledang atas pertanyaan yang dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, usaha berterusan terhadap pembugaran peninggalan sejarah sama ada bentuk fizikal atau dokumen lama di dalam dan di luar negara dilaksanakan oleh kementerian ini melalui Jabatan Arkib Negara, Jabatan Muzium Malaysia dan Jabatan Warisan Negara. Peninggalan sejarah seperti dokumen dan rekod yang tersimpan di Arkib Negara adalah terpelihara dan selamat. Kaedah penyimpanan dan pemeliharaan menepati Malaysian Standard MS2223 dan mematuhi amalan terbaik antarabangsa. Bagi dokumen dan rekod mengenai Malaysia yang berada di luar negara, Arkib Negara Malaysia menjalankan kerja-kerja pengesanan bahan seperti dokumen dan rekod mengenai Malaysia. Rakyat Malaysia memahami tentang ketuanan Melayu berasaskan kepada butiran yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya ialah bagaimana kementerian boleh memastikan bahawa pembugaran sejarah itu terus berlaku dan dapat diselenggarakan dan dimaintain lebih-lebih lagi di dalam memberikan kefahaman kepada rakyat Malaysia tentang ketuanan bangsa Melayu kerana ada satu pihak Tuan Yang di-Pertua, mengatakan bahawa ketuanan bangsa Melayu itu umpama Melayu itu tuan dan bukan Melayu itu hamba. Sebenarnya tidak betul Tuan Yang di-Pertua dan soalan ini saya tujukan kepada pihak kementerian supaya dapat dibetulkan. Asalnya ialah ketuanan bangsa Melayu ialah umpama satu tamadun yang berakar umbi dalam negara
Malaysia umpama sungai yang mengalir tidak putus sampai bila-bila. Apakah tindakan kementerian seterusnya supaya perkara ini dapat dibetulkan dan tidak menjurus kepada soal perkauman? Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Ledang. Tuan Yang di-Pertua, kementerian ini melalui agensi-agensi di bawahnya sentiasa menjalankan pembugaran atas artifak-artifak ataupun sejarah yang ada di Malaysia. Misalnya, Jabatan Muzium Malaysia melalui pameran tetap dan pameran bergerak yang diadakan oleh muzium-muzium di bawah pentadbiran jabatan ini secara langsung telah mempamerkan aspek kebudayaan, asal usul, adat dan kesenian serta taburan umat Melayu dalam konteks yang lebih luas. Ini telah membantu memberikan kefahaman kepada rakyat Malaysia tentang tamadun Melayu. Begitu juga Filem Negara Malaysia telah menerbitkan filem- filem dokumentari yang berkenaan dengan Sistem Raja Berperlembagaan, Raja Berperlembagaan, Berparlimen dan Jubli Emas Parlimen. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tahu apakah konsep ketuanan Melayu ini meliputi suku kaum asal daripada Sabah dan Sarawak?
Terima kasih Yang Berhormat Kota Bharu. Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya dalam Perlembagaan, tidak ada disebut ketuanan Melayu. Dalam konteks Malaysia, oleh sebab kita tidak ada hamba, maka tidak adalah tuan. Begitu juga ketuanan yang disebut di sini adalah dari konteks sejarah dan bukannya dari konteks apa yang ada pada kita masa kini. Saya percaya ini selalunya diputarbelitkan oleh pihak-pihak yang tertentu yang hendak merendah-rendahkan konsep tersebut.
Sekiranya betul-betul diketahui dan difahami oleh kita, ketuanan ini adalah dari segi ketamadunan, dari segi sejarah dan bukannya dari konteks yang sedia ada. Terima kasih.
2. Puan Chong Eng [Bukit Mertajam] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa kadar penghukuman rendah walaupun jenayah seksual semakin meningkat serta apakah langkah kerajaan untuk menangani masalah ini. Sila nyatakan mengapa statistik kes jenayah telah dikeluarkan daripada laman web PDRM.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Mertajam yang telah mengemukakan soalan ini. Untuk makluman Yang Berhormat dan juga Dewan yang mulia ini, pihak PDRM memandang serius kejadian jenayah seksual yang berlaku di Malaysia, terutamanya kes-kes rogol. Sehubungan dengan kadar sabitan ataupun hukuman kes seksual ini, ia adalah rendah berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan. Sebab ianya berlaku sedemikian adalah seperti berikut: (i) kurang kerjasama dan komitmen mangsa dan saksi semasa perbicaraan di mahkamah; (ii) dari segi pembuktian, kes-kes jenayah seksual khususnya rogol yang memerlukan pembuktian bahawa perhubungan
seks dilakukan tanpa kerelaan mangsa semasa perbicaraan, mahkamah mendapati dari keterangan yang dikemukakan ada unsur-unsur bahawa ia dilakukan dengan kerelaan mangsa; (iii) terdapat percanggahan keterangan dari saksi-saksi termasuk mangsa semasa perbicaraan di mahkamah; dan (iv) tiada keterangan sokongan terutamanya keterangan pakar untuk menyokong keterangan mangsa semasa perbicaraan di mahkamah. Untuk menangani masalah yang dihadapi ini, pihak PDRM telah mengambil beberapa langkah pencegahan seperti berikut: (i) memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat terutamanya di kalangan wanita berkaitan senario kes-kes jenayah seksual yang berlaku di negara ini supaya mereka lebih berhati-hati sebelum menjadi mangsa, di samping menerangkan hak-hak wanita dan panduan untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah seksual; (ii) memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai tanggungjawab dan penjagaan keselamatan anak-anak mereka; (iii) bagi mereka yang telah menjadi mangsa, mereka diminta supaya membuat laporan polis dengan segera; dan (iv) dari sudut undang-undang pula, sebagai hukuman deterrant, pindaan undang-undang telah dibuat di atas Kanun Keseksaan pada tahun 2007 dengan meningkatkan tempoh hukuman ke atas pesalah-pesalah jenayah rogol seperti berikut: (a) seksyen 376(2) – kesalahan merogol di mana semasa melakukan berada dalam keadaan seperti dalam subseksyen kecil (a) hingga (g) subseksyen ini, hukuman yang boleh dikenakan bagi kes-kes di bawah seksyen ini adalah penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga disebat; (b) seksyen 376(3) – kesalahan merogol di mana seseorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang ataupun hukum agama, adat atau kebiasaan, hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan; dan
(c) seksyen 376(4) – kesalahan merogol di mana semasa melakukan ataupun percubaan melakukan rogol menyebabkan kematian kepada mangsa, hukuman yang boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang dari 15 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan. Tuan Yang di-Pertua, sehubungan dengan statistik jenayah yang tidak dipaparkan di laman web PDRM, buat masa kini PDRM tidak bercadang untuk memaparkan statistik berkenaan di laman web. Namun begitu, statistik tersebut boleh diperolehi dari semasa ke semasa bagi tujuan tertentu seperti kajian dan penyelidikan. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Jawapan yang diberi itu saya rasa kurang beraksi, kurang positif dan kurang secara bertindak kerana walaupun dikatakan semua alasan yang diberi itu, kita semua sudah tahulah. Akan tetapi ini tidak membantu untuk mengurangkan jenayah, khasnya rogol. Kes rogol telah bertambah tiga kali ganda di antara tahun 2000 sehingga tahun 2009. Pada waktu sekarang, setiap 15 minit, satu kes telah berlaku. Ini tidak masuk lagi kes yang tidak dilaporkan kepada polis. Jadi boleh dikatakan saya percaya setiap minit ada satu kes berlaku kerana kepada satu kes yang berlaku yang dilaporkan kepada polis, saya rasa ada 10 kes tidak dilaporkan. Kita lihat baru-baru ini, kes taxi driver...
Soalan, Yang Berhormat.
Soalannya ialah mengapa crime index dikeluarkan? Adakah kerana tidak mahu dipantau oleh rakyat? Yang kedua ialah salah satu alasan tadi ada dikatakan ialah kerana kurang kerjasama ataupun itu berlaku kerana ada unsur kerelaan. Akan tetapi dalam semua kes, ada separuhnya adalah terlibat mangsanya adalah di bawah umur 16 tahun. Ini consider sebagai statutory rape. Sama ada rela atau tidak, ia dikira sebagai rogol juga. Mengapa kes seperti ini pun tidak dihukum? Jadi, selain daripada hukuman, saya rasa pencegahan adalah lebih penting lagi kerana susah hendak dikenakan...
Yang Berhormat, cukup, Yang Berhormat. Saya tahu ini penting, Yang Berhormat.
Hendak tanya.
Soalanlah.
Sama ada Yang Berhormat akan bercadang...
Ini bukan masa berceramah, Yang Berhormat.
Satu sahaja. Akan bercadang untuk menasihatkan Kementerian Pelajaran mengadakan kesedaran ini di dalam sekolah? Sekian, terima kasih.
[Menyampuk]
Pihak sebelah sana hendak rogol kah? [Dewan riuh]
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Sila Yang Berhormat, sila Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dia mengatakan bahawa seolah-olah jawapan saya ini tidak memahami apa yang ditanya. Sebenarnya apa yang ditanya dalam soalan beliau, beliau sendiri tidak faham apa yang ditanya. [Ketawa] Sebenarnya apa yang ditanya di dalam soalan ini adalah berkaitan kes semasa berada di dalam mahkamah dan mengapa conviction terhadap kes itu berkurangan jika dibandingkan dengan kes yang dilaporkan. Itu yang ditanya mengikut soalan yang dibuat oleh Yang Berhormat. Akan tetapi apabila dia bertanya, ia bercampur aduk di antara perkaitan dengan apa yang berlaku di mahkamah dan juga dengan punca berlakunya kes jenayah seksual ini. Jadi itu sebab persoalan beliau, saya menumpukan khusus kepada jawapan semasa kes sedang dibicarakan ataupun dalam peringkat di mahkamah. Itu sebab dari segi pembuktian, biasanya ada kes yang selain daripada statutory rape di mana memerlukan tanpa kerelaan daripada mangsa.
Jadi di dalam pembuktian dan di dalam kes perbicaraan, maka biasanya terdapat dalam perbicaraan itu unsur-unsur yang membawa seolah-olah berlakunya rape itu ada kerelaan daripada mangsa sendiri. Itu merupakan satu defense ataupun pembelaan oleh orang yang kena tuduh, Tuan Yang di-Pertua. Berkaitan dengan kurang kerjasama. Ini biasanya berlaku Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana desakan-desakan apabila kes ini telah dikemukakan di mahkamah. Kadang-kadang mereka saksi ataupun mangsa susah dapat dicari untuk memberi keterangan. Ada kalanya mereka tidak memberi keterangan seperti mana yang telah direkodkan semasa siasatan dijalankan. Inilah di antara sebab-sebab kes- kes yang dibawa mahkamah kurang mendapat sabitan ataupun hukuman daripada pihak mahkamah, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Hukuman ataupun bentuk punitif bukanlah satu penyelesaian ataupun satu langkah deterrent untuk menakut- nakutkan pesalah-pesalah dari terus melakukan kesalahan jenayah seksual ini tetapi, apa yang kita dapati kita mesti mencari satu langkah yang benar-benar berkesan dan mengenal pasti apakah sebab seseorang boleh melakukan jenayah tersebut. Ini kerana mengikut kajian daripada Jabatan Kesihatan tahun 2006, 20% daripada penduduk-penduduk Malaysia mengalami penyakit mental ataupun mental disorder disebabkan oleh stress. Jadi soalan saya, ataupun di dalam negara-negara maju perkara ini memang biasa. Ini kerana didapati di mana apabila seseorang itu keseorangan, maka tendency dengan izin, mereka akan melakukan kesalahan-kesalahan seksual ini. Jadi soalan saya, apakah langkah-langkah lain yang dikenal pasti oleh kementerian bagi memastikan supaya kita dapat mendidik masyarakat supaya tidak melakukan jenayah tersebut. Apakah yang menyebabkan kes-kes ini berlaku? Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Ada soalan yang daripada Yang Berhormat Bukit Mertajam Tuan Yang di- Pertua, saya lupa. Dakwaan bahawa kes ini berlaku every three minutes. Apa yang saya ingin menegaskan di sini, daripada angka tidaklah sebagaimana teruk sebagaimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Bukit Mertajam. Kalau kita lihat daripada kes seksual, kalau daripada segi rogol bagi tahun 2008 sebanyak 3,409. Dalam 2009 baru 3,628 jadi perbezaan puluhan sahaja, tidaklah every three minutes berlakunya rogol...
[Menyampuk]
That is what you are...
Jangan respons Yang Berhormat. Kalau tidak, kita bercakap macam dalam pasar.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sehubungan dengan soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Jasin. Sebenarnya, kalau kita lihat daripada kajian yang dibuat oleh pihak polis terutamanya yang telah menjalankan siasatan. Punca sebenarnya dalam kejadian kes-kes seksual ini terutamanya berkaitan kejadian rogol. Terutamanya adalah disebabkan mangsa sendirilah yang mana kita lihat terdapat kurang kesedaran kepentingan dan juga keselamatan diri daripada pihak mangsa. Ada juga yang dilihat bahawa mangsa ini terpengaruh dengan rakan-rakan dan persekitaran keadaan. Jadi di antara perkara inilah merupakan salah satu daripada sebab yang menjadikan kes rogol ini berlaku. Begitu juga daripada suspek kerana apa yang dilihat bahawa ada kalanya bahawa suspek mengambil peluang, berlaku sesuatu keadaan untuk melakukan kes ini. Juga daripada segi pengaruh bahan-bahan lucah juga merupakan di antara fakta yang menyebabkan punca kes rogol ini berlaku. Pengaruh daripada cabaran kawan-kawan pun juga merupakan di antara sebab-sebab berlakunya kes-kes rogol ini. Bagi mengatasi masalah-masalah ini, maka apa yang telah dilaksanakan oleh pihak polis bahawa mereka selalu memberi ceramah kepada pelajar-pelajar sekolah. Terutamanya target group di antara umur 12 tahun hingga 16 tahun tentang kesan akibat jenayah seksual dan keperluan menitik beratkan tentang keselamatan. Juga bagi ceramah kepada ibu bapa tentang tanggungjawab ibu bapa untuk menjaga keselamatan anak-anak mereka. Supaya dapat dielakkan daripada kejadian-kejadian seperti ini. Inilah tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak polis sebagai preventive measure dengan izin, Tuan Yang di-Pertua.
3. Datuk Tiong Thai King [Lanang] minta Perdana Menteri menyatakan, memandangkan pencerobohan kapal nelayan asing banyak merugikan negara kita: (a) apakah langkah berjaga-jaga yang telah diambil untuk menangani masalah ini; dan (b) bilangan kapal nelayan asing yang ditahan mengikut negara asal mereka pada tahun 2008 dan 2009.
Tuan Yang di-Pertua, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberi keutamaan dalam melakukan pengawasan dan operasi penguatkuasaan. Terutamanya kepada aktiviti-aktiviti yang berpotensi
mengancam dan mengganggu gugat keselamatan zon maritim negara. APMM menumpukan strategi kepada membanteras kegiatan seperti penyeludupan, rompakan di laut, lanun serta pencerobohan bot nelayan asing. Langkah pencegahan yang diamalkan APMM adalah dengan melaksanakan rondaan pesawat-pesawat udara dan aset-aset laut seperti kapal-kapal maritim dan bot-bot pemintas di perairan negara. Di samping itu APMM mampu dan berupaya beroperasi di laut secara berterusan 24 jam sehari tujuh hari seminggu sebagai operasi cegah rintang, dengan izin, deterrent di kawasan perairan lokasi tumpuan, hot spots yang telah dikenal pasti sering berlaku kejadian itu. Jumlah tangkapan nelayan asing pada tahun 2008 adalah seperti berikut: |Nelayan Asing 2008|Tangkapan (Jum.)| |------------------|---------------:| |Thailand | 13| |Vietnam | 40| |Indonesia | 25| |Filipina | 1| |China | 2| |Jumlah | 81|<END_TABLE_MARKER> Ini melibatkan 677 awak-awak. Jumlah tangkapan nelayan asing pada tahun 2009 pula adalah: |Nelayan Asing 2009|Tangkapan (Jum.)| |------------------|---------------:| |Thailand | 25| |Vietnam | 63| |Indonesia | 44| |Filipina | 2| |China | 1| |Singapura | 2| |Jumlah | 137|<END_TABLE_MARKER> Ini melibatkan 1,055 awak-awak. Dengan kehadiran aset-aset laut di lokasi tumpuan yang sensitif dalam perairan negara, APMM yakin ianya dapat meningkatkan lagi keupayaan dalam mengawal keselamatan negara dan membanteras kegiatan perlanggaran undang-undang maritim. Pada amnya, tahap keselamatan perairan negara adalah aman dan masih lagi di tahap yang terkawal. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri atas pertanyaan saya. Soalan
tambahan Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bertanya apakah kementerian sedar ada satu aduan saya yang saya selalu menerima tentang nelayan asing menggunakan lesen tempatan untuk penangkapan ikan laut dalam negeri Sarawak. Menyeludup keluar hasil tangkapan ikan yang bergred baik. Tuan Yang di-Pertua, kegiatan ini menyebabkan banyak merugikan nelayan tempatan serta aliran mata wang asing negara kita. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Kita menyedari tentang aktiviti yang berkaitan dan untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, sehingga bulan Mei 2010 kita telah menahan bot-bot nelayan tempatan yang pada kita mereka salah menggunakan awak-awak asing ataupun menyewakan bot-bot mereka. Di Wilayah Utara misalnya 35 kes, Wilayah Selatan 5 kes, Wilayah Timur 9 kes, Wilayah Sarawak 6 kes, Wilayah Sabah 23 kes menjadikan jumlah 78 kes. Berhubung tentang beberapa perkara yang kita lakukan sebagaimana yang saya sebut tadi kita akan dan telah pun mengadakan rondaan harian di wilayah-wilayah yang kita anggap sebagai hot spots. Kita mengadakan pemantauan aktiviti perkapalan melalui radar SWASLA ataupun sistem pengawasan laut untuk Selat Melaka yang akan kita luaskan di Sabah dan Sarawak melalui sistem baru yang dipanggil SSSS atau Sabah Sarawak Surveillance System yang telah selesai proses tendernya. Kita juga mengadakan operasi-operasi khas dan operasi bersepadu dengan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Perikanan dan LKIM dan juga mengadakan operasi bersepadu dengan tentera laut melalui maklumat-maklumat perisikan dari semasa ke semasa. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Mengenai sistem kawalan SSSS ini di mana kita tahu bahawa sering kali kapal-kapal nelayan dari negara-negara jiran kita ini datang di perairan Malaysia disebabkan peta Maritim kita bertindihan. Apakah sebenarnya telah dirancang untuk memperbaiki mengenai pertindihan peta Maritim ini. Terima kasih.
Daerah maritim kita ini Tuan Yang di-Pertua ada 18 dan di antara kawasan yang terdapat pertindihan ialah daerah Maritim I antara Malaysia dan Indonesia serta daerah Maritim II. Begitu juga di daerah Maritim 18 di kawasan Sabah pertindihan dengan Indonesia khasnya. Ini adalah usaha yang di luar tugasan APMM tetapi adalah melibatkan Kementerian Luar dan saya kira usaha-usaha untuk memastikan daerah Maritim itu diselaraskan, sedang dibuat dan banyak sebenarnya telah diadakan perundingan- perundingan antara Wisma Putra dan kerajaan yang terlibat. Terima kasih.
4. Tuan Haji Ahmad bin Kasim [Kuala Kedah] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan mengenai jumlah pengimportan gula mentah dari negara luar khususnya Australia, Thailand dan Brazil bagi mengatasi masalah kekurangan bahan mentah negara serta adakah benar dasar pengimportan ini yang menyebabkan bekalan gula negara terjejas kini.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh. Tuan Yang di- Pertua, untuk makluman Yang Berhormat 99% keperluan gula mentah negara
diimport daripada luar negara iaitu daripada Brazil 509,000 metrik tan (41%), Australia 448,000 metrik tan (36%), Thailand 117,000 metrik (14%). Pengeluaran gula dalam negara yang disumbangkan oleh Kilang Gula Felda Perlis adalah hanya sebanyak 1% iaitu 17,000 metrik tan pada tahun lalu. Kecil sahaja yang kita bekalkan daripada pengeluaran di Perlis. Dasar semasa membenarkan hanya empat pengilang gula tempatan mengimport gula mentah bertujuan memastikan bekalan gula bertapis bagi pasaran domestik sentiasa mencukupi dan tidak terjejas dengan harga yang turun naik selaras dengan Akta Kawalan Harga 1946 disemak tahun 1973 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 disemak tahun 1973 di mana gula bertapis merupakan barangan kawalan. Persepsi orang ramai bahawa sekiranya AP dibuka kepada lebih banyak pihak akan menyebabkan harga turun dan senang mendapat gula adalah kurang tepat. Hakikatnya pada harga gula dunia yang tinggi pada masa ini. Walaupun AP dibuka harga tidak semestinya turun. Ini adalah kerana harga gula mentah di pasaran dunia pada masa ini ialah kira-kira USD22.26 bagi satu pound setelah diambil kira kos pengeluaran dan lain-lain kos yang berkaitan harga gula di pasaran tempatan berdasarkan harga antarabangsa pada masa ini adalah kira- kira RM2.45 sekilo iaitu lebih tinggi daripada harga kawalan semasa sebanyak RM1.65 satu kilogram. Tuan Yang di-Pertua, mengenai bekalan gula pembukaan AP kepada lebih banyak pihak tidak semestinya menambah bekalan sekiranya kerajaan tidak menambah peruntukan untuk subsidi yang sekarang ini berjumlah kira-kira RM1,000 bilion. Tuan Yang di-Pertua, penyelesaian jangka panjang untuk menjamin bekalan gula adalah dengan mengurangkan kadar subsidi secara berperingkat supaya tidak ada perbezaan yang ketara antara harga domestik dengan harga antarabangsa yang telah menyebabkan penyeludupan ke luar negara gula negara kita dan penggunaan gula secara berlebihan. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, AP gula mentah sekarang ini diberikan kepada empat syarikat pengilang gula sahaja iaitu Malaysian Sugar Manufacturing Company Berhad, Central Sugars Refinery Sdn. Bhd., Gula Padang Terap Sdn. Bhd. dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. Pada masa ini dua daripada kilang ini dimiliki oleh kumpulan FELDA dan dua lagi oleh kumpulan Tradewinds. Tuan Yang di-Pertua, walau bagaimanapun pada masa ini kerajaan sedang mengkaji pemberian AP gula bertapis kepada pihak industri bagi menampung keperluan industri tempatan dengan syarat-syarat tertentu. Keputusan mengenai perkara ini akan dibuat dalam sedikit masa lagi. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya agak terkejut dengan jawapan Yang Berhormat Menteri apabila menyebutkan soal 99% kita bergantung kepada import dalam soal gula. Persoalan dan isunya sekarang ini ialah soal bekalan gula dalam negara yang semakin berkurangan dan sesetengah tempat itu sangat kritikal sehinggalah terpaksa menunjukkan kad jemputan kahwin barulah boleh dapat membeli gula dengan amaun yang banyak. Ekoran daripada kekurangan ini berlaku manipulasi harga yang saya rasa Yang Berhormat Menteri begitu memahami persoalan berkaitan dengan soal AP atau permit import yang rata-ratanya walaupun Yang Berhormat Menteri memberikan penjelasan soal ketidakpuasan tetapi soal demand and supply dengan izin, soal ekonomi, soal permintaan dan pengeluaran dan dalam bacaan
dan pandangan umum pakar-pakar ekonomi mengatakan bahawa perlu dasar kerajaan soal permit import ini diberi dengan jumlah yang banyak bukan hanya kepada empat syarikat yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri. Itu soal dasar permit import. Adakah kerajaan begitu memegang sehinggalah persoalan ini disebut sebagai monopoli oleh kroni-kroni tertentu yang dekat dengan pihak pemerintah. Itu saya pohon dan juga soal koordinasi antara dua kementerian berkaitan dengan isu gula ini iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Jadi tidak ada koordinasi antara dua kementerian menyebabkan manipulasi harga antara pengilang dan pemborong begitu ketara sekali sehingga menyebabkan kesan kepada rakyat. Bolehkah Yang Berhormat Menteri memberi sedikit lagi input tambahan berkaitan dengan soal sorok gula dan juga pengaliran gula tempatan ke luar negara khususnya di Thailand apabila ...
Yang Berhormat, sudah cukup panjang Yang Berhormat. Soalan itu cukup panjang Yang Berhormat.
Soalan gula ini semua rakyat Malaysia menggunakan gula, Tuan Yang di-Pertua.
Yang penting Yang Berhormat dalam Dewan kena ikut peraturan, Yang Berhormat.
Ya. Jadi itulah persoalan saya Yang Berhormat Menteri, dua perkara soal dasar import dan juga soal anti sorok tadi. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Kedah. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertama berkaitan dengan koordinasi memang terdapat koordinasi di antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak timbul. Masalah timbul hari ini adalah kerana perbezaan harga yang ketara antara harga di pasaran dunia dengan harga tempatan. Bezanya kira-kira 80 sen. Masalah yang timbul oleh kerana subsidi yang tinggi dan kerajaan telah mengumumkan bahawa kita akan mengurangkannya secara berperingkat dan hal ini sedang ditangani dengan baiknya oleh rakan saya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan saya tidak mahu hendak menjawab hal-hal terperinci berkaitan dengan kementerian tersebut.
Cumanya berkaitan dengan keperluan gula tempatan. Ini bukan mengejutkan kerana gula ini sebahagiannya dikeluarkan daripada tebu dan kita tanam tebu di Malaysia cuma untuk minum air tebu sahaja, di tepi jalan jual tebu dan pada bulan Ramadhan kita banyak minum air tebu. Jadi tanah yang kita ada untuk tanam tebu tidak mencukupi. Itulah sebabnya 1% sahaja yang kita bekalkan melalui pengeluaran tempatan. Ini bukan satu perkara yang mengejutkan, daripada dahulu lagi sampai sekarang kita mengimport hampir 1% sahaja yang dikeluarkan di Perlis ini, dahulu ada pernah ditanam di Padang Terap, kita dah difahamkan sekarang ini, di sana pun sudah tiada lagi di kawasan Yang Berhormat Kuala Kedah ini, sudah tidak ada lagi. Sekarang ini cuma hanya ada di Chuping sahaja. Jadi berkaitan dengan AP ini, seperti saya katakan tadi bahawa kita sedang mengkaji kemungkinan untuk membuka AP kepada industri, mereka yang
memerlukan dalam kuantiti yang besar dan keputusan akan dibuat dalam sedikit masa lagi dengan dikenakan syarat-syarat tertentu. AP ini dalam hal ini, empat syarikat yang ada seperti yang disebut dalam jawapan, syarikat ini milik FELDA, FELDA memang kroni kitalah, Yang Berhormat sebut kroni, FELDA semua kroni kita, kawan-kawan kita semua, Hulu Selangor dan lain-lain. Tuan Yang di-Pertua, tidak ada berbangkit hal kroni berkaitan dengan AP ini, yang penting dalam hal ini kerajaan sedang mengkaji. Keduanya, masalah utama bekalan ialah kerana subsidi yang tinggi, kerana penyeludupan dan juga kerana harga yang berbeza dengan ketara antara pasaran luar negara dengan dalam negara. Oleh yang demikian, untuk jangka panjang, tidak ada jalan lain. Jika perbezaan amat ketara, sudah mesti terdapat banyak ketidakcekapan, penyorotan, penyeludupan. Jadi itulah sebabnya Ahli Yang Berhormat sedia maklum selagi ada gangguan dalam pasaran, selama itulah akan timbul pelbagai masalah. Oleh yang demikian, penyelesaian jangka panjang tidak lain tidak bukan ialah untuk memastikan bahawa perbezaan harga antara harga dunia dengan domestik ini tidaklah begitu ketara. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya ialah bila kita melihat bekalan gula ini, boleh dikatakan saban tahun ia merupakan satu masalah kepada pengguna di seluruh negara. Saya tertarik dengan rancangan kerajaan untuk membuka penguatkuasaan untuk membekalkan gula di negara kita ini. Saya rasa ini satu tindakan yang baik untuk mengurangkan kadar harga gula dan juga dapat memperluaskan lagi bekalan gula ke seluruh negara. Soalan saya, adakah pihak kementerian bercadang untuk- bila membuka AP itu nanti, memberi peluang kepada pembekal-pembekal yang datang daripada negeri Sabah dan Sarawak untuk membolehkan kadar harga barangan tersebut di negeri Sabah dan Sarawak boleh dikawal dan ianya juga boleh membantu untuk memastikan bekalan gula itu akan dapat berterusan. Saya juga ingin bertanya kepada pihak menteri, adakah bekalan gula pada tahun ini, dalam tahun 2010 ini ia boleh bertahan untuk bekalan seluruh negara. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Silam. Bekalan gula di pasaran dunia secara umumnya tidak ada masalah cumanya harga meningkat. Kalau kita bersedia untuk membayar harga yang lebih tinggi, bekalan ini tidak ada masalah. Cumanya kita ada kekangan dari segi peruntukan untuk subsidi. RM1 bilion kita anggap satu angka yang besar, khususnya dalam konteks untuk kita meningkatkan tahap kesihatan rakyat Malaysia, khususnya dalam konteks untuk kita mengurangkan pembaziran melalui penyeludupan. Jadi kita rasa tahun 2010 dari segi bekalan, tidak ada masalah apabila kerajaan melihat semula perkara ini secara menyeluruh. Kita yakin bahawa sebahagian masalah yang kita hadapi masa ini akan dapat kita atasi. Berkaitan dengan Sabah dan Sarawak, sebenarnya kerajaan telah meluluskan dua lesen pengilang, satu di Sarawak, satu di Sabah. Kepada Sarawak nama syarikatnya ialah syarikat Atmuda, di Sabah - Gula Sabah. Akan tetapi setakat ini mereka belum lagi memulakan pengeluaran, mungkin apabila syarikat-syarikat yang telah diluluskan lesen pengilang di Sabah dan Sarawak, apabila mereka memulakan pengeluaran, mungkin sebahagian masalah di negeri-negeri tersebut akan dapat dikurangkan.
5. Datuk Ismail Kasim [Arau] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan, apakah pelan pembangunan pertanian negara dalam tempoh sepuluh tahun akan datang dan bagaimana pertanian memainkan peranan dalam Model Ekonomi Baru. Apakah pembangunan Hub Halal akan merangkumi pengeluaran hasil tani yang lebih dinamik dan kompetitif.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dalam memastikan sektor agro makanan terus berdaya saing dan dapat turut sama memainkan peranan mencapai matlamat Model Ekonomi Baru. Maka, satu Konvensyen Jaminan Bekalan Makanan 2010 hingga 2020 telah pun diadakan pada 27 Mei 2010 yang lepas dan telah pun dihadiri lebih daripada 1,000 orang peserta. Antara beberapa perkara strategi yang telah pun dicapai, dalam bidang– di antaranya ialah untuk mengambil peluang daripada keperluan pengguna sekarang dan masa hadapan semakin peka terhadap diet yang sihat dan berkhasiat di samping mengambil kira cita rasa mereka dengan mengeluarkan hasil dan produk yang selamat, berkualiti dan berkhasiat supaya pengedar memperoleh harga yang menguntungkan. Corak pemakanan yang sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan akan dipromosikan di samping industri kesihatan berasaskan pertanian akan dilaksanakan. Dalam sektor tanaman, kerajaan atau pihak swasta akan menyediakan kemudahan infrastruktur untuk disewa pakai oleh pengusaha- pengusaha. Aspek pemasaran diperkasa dan projek dilaksanakan mengikut kehendak pasaran dan R&D dan inovasi diperkukuhkan. Dalam sektor perikanan, R&D dan inovasi diperkukuhkan, Jawatankuasa Kerja Nasional Pembangunan Induk Ikan akan diwujudkan untuk mengenal pasti dan membangunkan benih- benih ikan utama dan sistem pemasaran dimantapkan supaya tidak hanya memberi keuntungan kepada orang tengah. Dalam sektor ternakan pula, sumber manusia yang mahir dan berpengetahuan R&D dan inovasi diperkukuhkan dan perkhidmatan kawalan penyakit dipertingkatkan dan dilaksanakan secara menyeluruh bagi meningkatkan pengeluaran berskala besar. Bagi sektor industri asas tani, akan memperkasakan program mentor- mentee dan anchor vendor. FAMA dan MARDI sebagai push factor akan diperkukuhkan dan sistem maklumat atau ICT berpusat diwujudkan dan juga peraturan 3P iaitu Pengedaran, Pembungkusan dan Pelabelan keluaran pertanian juga diperkenalkan. Untuk sektor swasta, kita juga akan memberikan peluang kepada sektor swasta melibatkan diri dengan memberikan insentif-insentif kepada mereka, jika mereka menggunakan teknologi-teknologi yang baru. Untuk pembangunan modal insan, sumber manusia yang berkualiti. Dalam sektor agro makanan, maka penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran petani, penternak dan nelayan akan terus dititikberatkan supaya dapat menerima pakai penemuan- penemuan penyelidikan untuk melaksanakan langkah-langkah sanitary dan ‘phytosanitary’ serta amalan pertanian yang baik supaya dapat meningkatkan pendapatan petani, nelayan dan juga penternak sehingga ke USD15 ribu. Selain itu, pegawai-pegawai perkembangan dan juga yang berurusan secara langsung dengan kumpulan sasar juga ditingkatkan komitmen dan kompetensi mereka. Mengenai pembangunan Halal Hub adalah merangkumi kesemua rantaian halal daripada ladang ke tempat makan terhadap produk-produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan halal.
Ini melibatkan jenis produk-produk halal daripada sumber pengeluaran termasuk ladang-ladang ternakan, pertanian yang juga perikanan yang menjadi sumber kepada produk-produk makanan. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Kita melihat kesilapan kita beberapa ketika dahulu apabila kita menukarkan tumpuan kita kepada sektor pertanian kepada sektor pembuatan dan sebagainya telah menyebabkan kita menghadapi sedikit masalah terutamanya ketika berlaku krisis bekalan makanan global pada tahun 2008 dan pada masa itu, kita berada dalam keadaan panic dengan izin yang menyebabkan kita membuat beberapa perkara-perkara contohnya dalam bab pembelian makanan dalam keadaan yang tidak terancang, yang merugikan negara. Jadi saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri dalam hal ini berhubung perkara untuk menstrukturkan kembali dalam pelan sepuluh tahun dasar atau Pelan Pembangunan Pertanian Negara. Langkah-langkah yang dibuat tidak di peringkat ad hoc sahaja supaya kita pastikan ia mencapai kejayaan contohnya dalam meningkatkan keperluan makanan. Kita juga harus melihat kepada infrastruktur pertanian yang ada sesetengahnya masih lagi berada dalam keadaan yang cukup uzur dan ada sesetengahnya lagi masih kita menggunakan keadaan- keadaan yang dibina sebelum kita mencapai kemerdekaan yang kalau dilihat daripada untuk urusan pembaikan, maintenance dan sebagainya boleh menyebabkan kos yang tinggi.
Soalan, Yang Berhormat.
Jadi, saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri. Dalam hal ini, apakah langkah-langkah yang dibuat dalam memastikan kita menggembleng dasar yang sedia ada untuk memastikan bahawa Dasar Jaminan Makanan ini tidak meningkatkan food import bill negara yang mencecah ‘RM15,000 bilion’ hampir setiap tahun yang kita alami sekarang ini.
Terima kasih Yang Berhormat. Seperti yang telah saya nyatakan tadi bahawa dalam commission yang kita adakan, ada lapan soal resolusi telah saya nyatakan. Dalam masa yang sama Tuan Yang di-Pertua, kita juga akan meluluskan Dasar Bekalan Jaminan Makanan Negara supaya kita akan memberikan bantuan terus kepada petani, nelayan dan penternak dengan insentif, subsidi dan juga matching grant akan kita teruskan dan kita juga sedar bahawa dalam kita menghadapi masa yang akan datang, kita akan menghadapi masalah kekurangan tanah, kita akan menghadapi masalah penambahan penduduk. Dalam masa yang sama kita juga akan menghadapi masalah perubahan cuaca yang tidak menentu. Oleh sebab itu, kita sedang merancang untuk memastikan bahawa bekalan makanan kita akan mencukupi seperti padi sebagai contoh. Kita bercadang untuk mencapai 80% untuk self-sufficient kita dengan kita akan mempertingkatkan prasarana yang sedia ada dan kita akan menambahkan had pengeluaran dengan bantuan-bantuan yang sedia ada. Dalam masa yang sama, kita juga akan berusaha menjadikan negara kita sebagai negara pengeluaran dalam bidang ternakan dan juga perikanan. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya ingin menyatakan, pada tahun 2007, kerajaan menyasarkan pulangan daripada pembangunan hab halal Malaysia yang mampu menjana sehingga RM35 bilion. Sebentar tadi, Yang Berhormat Menteri ada menyebut tentang perancangan melibatkan kementerian dengan halal hab tetapi lebih ad hoc seperti yang disebut oleh Yang Berhormat daripada Arau.
Persoalan saya, ambil contoh negeri Perlis sahaja. Walaupun projek halal hab boleh diteruskan tetapi kerajaan negeri memerlukan imbuhan sebanyak RM70 juta daripada Kerajaan Pusat. Jadi adakah pihak kementerian, sebagai soalan susulan, apakah langkah-langkah yang digunakan untuk mengukur prestasi pulangan capaian target daripada kolaborasi kementerian dalam projek halal hab kerana tadi disebut terlalu ad hoc? Apakah perincian sebenarnya pulangan yang disasarkan dan adakah ia ada had masa yang ditetapkan oleh pihak kementerian?
Terima kasih. Kita sedia maklum, kita ada beberapa tempat dikenali sebagai halal- Hab termasuk di Arau. Di Perlis juga ada halal-Hab. Halal-Hab ini kita sedia maklum bahawa ia sekarang ini di bawah SEDC. Dulu, sewaktu ada MeCD, kita mempunyai kerjasama yang rapat dan sekarang ini peranan itu dimainkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk kita memberikan bantuan kepada pengusaha-pengusaha yang terpilih di dalam halal-Hab kerana pihak HADC menyediakan tempat dan juga prasarana dan kita akan memberikan bantuan-bantuan dari segi insentif. Dalam masa yang sama, kita juga akan berusaha untuk membantu syarikat-syarikat yang sudah pun berusaha untuk mengeluarkan produk-produk halal seperti baru-baru ini Felda Global telah pun mengadakan satu perjanjian untuk menjadikan negara kita sebagai pengeluar daging halal yang terbanyak di rantau ini. Jadi dengan adanya kerjasama pihak kementerian dengan pihak SEDC dan dengan pihak syarikat-syarikat swasta, maka ke arah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar produk-produk halal akan dapat kita capai. Terima kasih.
6. Tuan Haji Taib Azamudden Md. Taib [Baling] minta Menteri Kewangan menyatakan, apakah jaminan dan keyakinan kerajaan yang dapat diberikan dengan sistem dan corak pengurusan Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang ada hari ini benar-benar boleh mencapai matlamat Takaful Islam sebenarnya dan apakah alasannya.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat semua, semua syarikat takaful yang beroperasi di Malaysia termasuk Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) adalah tertakluk kepada Akta Takaful 1984. Menerusi akta ini, Bank Negara Malaysia mengawal selia industri takaful di Malaysia bagi memastikan semua perniagaan takaful dijalankan secara berhemah dan berhemat selari dengan tuntutan syariah pada masa yang sama tidak mengabaikan kepentingan peserta dan industri. Salah satu peruntukan yang penting dalam akta ini ialah kewajipan menubuhkan jawatankuasa syariah bagi memastikan perjalanan syarikat takaful tidak bercanggah dengan hukum syariah termasuk sistem operasi, corak pengurusan serta produk-produk takaful yang ditawarkan. Semua syarikat takaful telah pun menubuhkan jawatankuasa syariah masing-masing termasuk STMB. Bank Negara Malaysia juga telah mengeluarkan garis panduan Bank Negara Malaysia berhubung tadbir urus jawatankuasa syariah, GPS1 pada tahun 2004 yang menerangkan secara terperinci Akta Takaful 1984 mengenai tanggungjawab penubuhan Jawatankuasa Syariah seperti berikut: (i) memastikan dokumentasi dan manual operasi syarikat takaful memenuhi syariah; (ii) mengesahkan bahawa semua operasi takaful mematuhi syariah dalam laporan kewangan mereka;
(iii) menasihati lembaga pengarah berhubung perkara-perkara berkaitan syariah dalam operasi syarikat takaful; (iv) mengesahkan manual pematuhan syariah serta dokumen- dokumen berkaitan produk kewangan Islam yang ditawarkan oleh pengendali takaful berkenaan; dan (v) memberi pandangan syariah sekiranya terdapat perkara yang dirujuk kepadanya. Sekiranya terdapat konsep dan kaedah baru yang ingin diguna pakai oleh syarikat takaful, Jawatankuasa Syariah Syarikat Takaful perlu merujuk kepada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan sekiranya perlu. Bank Negara Malaysia dan syarikat-syarikat takaful sentiasa berusaha untuk menjadikan industri takaful sebagai satu industri yang cekap dan progresif seperti yang dihasratkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan. Usaha-usaha ini ditumpukan ke arah pembangunan prasarana kewangan, peningkatan kemampuan institusi serta pembangunan produk dan pasaran. Jumlah aset takaful telah meningkat dari RM5 bilion pada tahun 2004 kepada RM12.4 bilion pada akhir tahun 2009 dan merekodkan pertumbuhan pada kadar purata 20% setiap tahun. Bank Negara Malaysia juga sedang menggubal rangka kerja yang lebih menyeluruh berkenaan urus tadbir syariah dan operasi takaful bagi memantapkan lagi pengawalseliaan industri ini. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Tidak dinafikan bahawa penubuhan Takaful terutama sekali Syarikat Takaful Malaysia Berhad mengikut akta sebagaimana yang dijelaskan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi memang baik dan cantik tetapi, apakah pihak kerajaan sedar bahawa jumlah bukan Islam yang menjawat jawatan-jawatan penting, Pengurus Kanan, Ketua Jabatan di dalam Syarikat Takaful Malaysia Berhad sekarang ini meningkat tinggi lebih daripada 80 orang? Apakah mereka faham perjalanan Takaful Islam ini, begitu juga apakah kerajaan sedar kurang lebih daripada 80 buah cawangan telah ditutup di seluruh negara? Pada 3 Mei yang lalu cawangan Kangar sendiri telah pun ditutup dan dipindahkan operasinya ke Alor Setar. Hanya seorang pegawai yang bertaraf junior, hanya junior pegawai di Jabatan Syariah. Apakah benar-benar sekarang ini operasi yang hendak dilakukan oleh Syarikat Takaful ini boleh mencapai apa yang telah ada pada maksud akta itu tadi? Begitu juga Mudharabah tidak ditentukan dalam mesyuarat syariah, hanya ditetapkan sebegitu sahaja yang bagi saya ini bercanggah daripada apa yang ada pada asal. Saya juga ingin tahu akhirnya Tuan Yang di-Pertua, atas asas apakah pakej gaji Pengarah Urusan Syarikat Takaful yang begitu tinggi mencecah pada tahun 2008 dan tahun 2009 sampai RM2 juta? Ini bermakna RM200,000 kita bayar kepadanya satu bulan sedangkan operasi sebelum ini tidak lebih daripada RM30,000 sahaja. Ini maknanya saya rasa dengan fakta-fakta ini dan yang paling menggerunkan ialah cadangan untuk menutup anak syarikat Asean Retakaful International (L) Limited (ARIIL). Ini juga hendak ditutup. Jadi saya rasa pihak kerajaan perlu semak balik perjalanan Syarikat Takaful ini semula dan jika perlu dirombak kita perlu rombak kerana kita hendak memastikan bahawa akta yang diluluskan oleh Parlimen ini benar-benar berjalan. Terima kasih.
Terima kasih Ahli Yang Berhormat kerana menimbulkan beberapa isu yang agak serius. Pertamanya, dari segi wujudnya pegawai-pegawai syariah yang agak junior barangkali di cawangan-cawangan dan kebimbangan sama ada ianya menepati hasrat syariah. Ingin saya nyatakan di sini bahawa segala perjalanan urusan urus tadbir dan produk-produk yang telah diluluskan untuk dilaksanakan oleh syarikat ini sudah pun diputuskan di peringkat ibu pejabat, di peringkat lembaga pengarah, di peringkat Ahli Jawatankuasa Syariah. Yang ada di bawah- bawah itu hanyalah untuk menguruskan seperti mana yang telah ditetapkan. Kalau produk itu telah pun dipersetujui dan menepati keperluan syariah, mereka yang menjualnya tidaklah semestinya mengubah keadaan bahawa produk itu adalah produk yang telah diluluskan oleh Ahli Jawatankuasa Syariah sama ada ianya dijual ataupun diuruskan oleh seorang yang Islam, Muslim ataupun tidak. Ini kerana saya yakin bahawa adanya golongan pegawai yang tidak Muslim tidak semestinya bermakna bahawa pengurusan syarikat ini telah bertentangan dengan tuntutan syariah. Itu pertama. Keduanya, memang pada mulanya STMB ini menggunakan kaedah sepenuhnya Mudharabah, tetapi syarikat-syarikat Takaful lain juga telah menggunakan kaedah Mudharabah dan juga kaedah Wakalah. Ini telah diikuti pula oleh STMB pada akhir-akhir ini barangkali dengan pertimbangan bahawa ianya adalah satu model yang lebih baik untuk menggabungkan pendekatan Mudharabah dan Wakalah ini seperti mana yang dilakukan oleh syarikat-syarikat lain. Maka di sini juga kita merasakan ia tidak semestinya bertentangan dengan keperluan syariah. Ketiganya, tentang pakej gaji. Saya rasa tidak tahulah seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat tadi, tetapi apa pun pakej gaji satu-satu institusi kewangan ini sebenarnya dalam sistem kewangan negara kita ditentukan oleh syarikat kewangan itu sendiri dan ianya selari dengan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Saya yakin syarikat Takaful ini tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan amalan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia kerana sekiranya berlaku percanggahan sudah tentu ianya tidak dapat dipertahankan. Bank Negara Malaysia pastinya akan menyelidik dan mengambil tindakan yang tegas. Kalau Yang Berhormat masih lagi belum berpuas hati dan ingin membuat surat kepada saya menjelaskan secara terperinci, saya sanggup untuk memanjangkannya kepada Bank Negara Malaysia untuk penelitian dan kajian supaya ianya selari dengan kehendak dan matlamat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. Terima kasih.
7. Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi] minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan: (a) sejauh manakah keluaran penyelidikan dan inovasi kementerian dimanfaatkan untuk kegunaan rakyat Malaysia sama ada di dalam sektor industri ataupun pertanian; dan (b) nyatakan 5 jenis penyelidikan dan inovasi terbaru yang diguna pakai.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu MOSTI, kementerian yang turut terlibat di dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan R&D ialah Kementerian Pengajian Tinggi,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. MOSTI menerajui aktiviti penyelidikan dan pembangunan dan inovasi melalui penyediaan dana-dana mengikut lima sektor iaitu: (i) bioteknologi; (ii) teknologi maklumat dan komunikasi (ICT); (iii) teknologi perindustrian; (iv) teras sains dan teknologi; dan (v) angkasa, laut dan atmosfera. Data pangkalan bagi RMKe-9 sehingga 31 Mei, 2009 menunjukkan bahawa melalui semua dana R&D dan pengkomersialan yang disediakan oleh MOSTI serta agensi-agensinya sebanyak 4,435 projek telah diluluskan dengan kos peruntukan sebanyak RM2.8 bilion. Daripada jumlah ini sebanyak 1,903 projek atau 42.9% telah siap dan dengan mewujudkan harta intelek sebanyak RM991. Harta intelek yang dihasilkan ialah terdiri daripada paten cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta. Bilangan projek yang berjaya dikomersialkan ialah 294 atau 15.4% daripada bilangan projek yang telah siap dengan hasil penjualan sebanyak RM3.2 bilion. Maka adalah jelas keluaran penyelidikan dan inovasi ini telah memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, bagi menjawab soalan bahagian (b) antara kejayaan dan manfaat di sektor pertanian adalah seperti berikut: (i) di peringkat pembenihan dan penanaman sebagai contoh R&D yang dijalankan untuk mendapatkan benih yang baik dan tahan penyakit melalui proses bioteknologi; (ii) di peringkat penanaman MOSTI melalui agensinya MIMOS telah menjalankan projek pertanian tepat ataupun precision farming yang dapat membantu petani menguruskan tanaman secara lebih berkesan; (iii) di peringkat pemprosesan, antaranya MOSTI telah membiayai projek yang menghasilkan ‘kerajinan’ daripada alga merah sebagai bahan farmaseutikal dan industri makanan iaitu pemekat dan penstabil yang diusahakan oleh Genius Ocean Sdn. Bhd. Juga saya maklumkan iaitu penghasilan ekstrak kacip fatimah yang telah dilesenkan kepada Pharmaniaga Berhad untuk pengkomersialan; (iv) di peringkat pemasaran, MOSTI melalui agensinya iaitu MDEC dan MIMOS bekerjasama dengan FAMA dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah membangunkan aplikasi e-pasartani dan agri-bazar untuk memasarkan secara terus hasil tani, ternakan dan alat pertanian.
Bagi sektor industri pula, antara kejayaan dan manfaatnya ialah seperti berikut:
(i) di peringkat penyelidikan asas, MOSTI telah melalui geran science fund menghasilkan teknologi serta produk terkini. Contohnya produk teknologi yang membangunkan sistem transmisi gear di dalam industri automobil. Teknologi yang dibangunkan adalah design and development of electro- mechanical dual acting pulley (EMDAP); (ii) di peringkat prapengkomersialan, projek yang sama telah berjaya berkolaborasi dengan Proton di bawah geran techno fund; dan (iii) pada peringkat pengkomersialan, MOSTI membantu syarikat SME melalui agensinya MTDC di bawah geran Commercialization of Research and Development Funds (CFDF), dan contohnya syarikat Global Network Technology Sdn. Bhd. berjaya mengkomersialkan synthetic water soluble polymer bagi penggunaan rawatan air sisa industri yang sudah pun dikomersialkan. Yang Berhormat Langkawi mohon senaraikan lima jenis hasil penyelidikan. Sepertimana yang telah saya sentuh di awal jawapan tadi, jenis dan hasil penyelidikan yang telah diterajui oleh MOSTI sebenarnya begitu panjang senarainya iaitu 1,903 telah siap bagi RMKe-9 setakat ini dan dari segi cluster bio teknologi sahaja, yang telah siap ialah 300 projek dan dari segi cluster teknologi industri, sebanyak 538 telah siap. Sebahagian senarai tersebut akan saya bekalkan secara bertulis kepada Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri dan Tuan Yang di-Pertua. Saya amat berbangga dan menghargai inovasi yang telah dibuat oleh kementerian dan juga oleh Encik Ridzuan, seorang mekanik Langkawi yang menggunakan enjin kecil dengan menukar enjin ekor panjang yang digunakan oleh nelayan atau ekor biawak dengan bantuan inovasi daripada kementerian MOSTI dan juga telah dipatenkan baru-baru ini. Soalan tambahan saya ialah, sejauh manakah lagi kementerian dapat menolong membantu nelayan, penternak dan peladang dengan inovasi baru yang sama ada downstream ataupun upstream untuk memasarkan produk-produk mereka? Kalau kita lihat di overseas market, terdapat durian dipasarkan padahal di Malaysia memerlukan inovasi yang baru untuk memasarkan produk-produk yang sebegini. Dan sama ada pihak kementerian memantau techno fund ini yang telah dikeluarkan sama ada kementerian memantau sejauh manakah mereka itu successful? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Langkawi. Sepertimana saya sentuh awal tadi, sebahagian daripada beberapa jenis teknologi yang telah dikeluarkan oleh MOSTI sudah pun dikomersialkan ataupun sudah sampai ke peringkat pengguna iaitu petani dan pihak nelayan. Saya tekankan bahawa bidang yang dipertanggungjawabkan kepada MOSTI ialah dalam bidang bioteknologi dan teknologi pertanian yang menggunakan proses bioteknologi ataupun engineering. Sebanyak 90% daripada tugas lain itu di bawah kementerian rakan saya di sebelah kanan iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Fokus flagship dengan itu di MOSTI ialah penyelidikan yang berkaitan dengan produktiviti mahupun itu peningkatan benih, kualiti baja, kualiti makanan melalui proses bioteknologi. Juga dari segi teknologi mekanikal berkaitan dengan
misalnya teknologi-teknologi baru yang boleh digunakan untuk mengutip hasil, misalnya cantas, satu daripadanya teknologi yang dikeluarkan oleh satu syarikat dan dibantu oleh MTDC dan SIRIM untuk tujuan mengutip benih kelapa sawit. Selain daripada itu, dalam bidang post-harvest sepertimana saya sentuh tadi. Pada masa yang sama saya rasa teknologi-teknologi lain itu apabila kita telah sampaikan kepada pihak pengguna, pemantauan itu terus kita teliti. Misalnya Tech MOSTI Program yang banyak kali Ahli Parlimen telah pun menggunakan ruang itu. Kita telah senaraikan misalnya 24 jenis teknologi kecil yang boleh diperolehi oleh petani sebahagian daripada program kita untuk memastikan teknologi-teknologi kecil yang berguna, murah dan senang digunakan itu sampai kepada pihak pengguna seperti enjin ekor panjang yang banyak dipohon. Satu enjin sangkut yang 180 pusingannya, tidak perlu reverse, hanya pusing sahaja dan boleh pergi 90 degree ke depan dan beberapa lagi yang lain. Di bawah program pemprosesan, Technology Park Malaysia adalah satu pusat yang boleh digunakan oleh para petani dan usahawan-usahawan dan sebahagian daripada teknologi yang dikeluarkan di situ melalui proses incubation telah pun sampai kepada pihak petani juga. Dalam pihak MOSTI, oleh kerana hanya sekadar kira-kira 15% daripada dana ataupun 20% daripada dana yang diberi itu tertumpu pada perihal bioteknologi, kita akan pastikan bahawa tumpuan dan flagship program itu adalah tepat kepada penggunaan negara dan para petani di akar umbi. Itu yang kita fokuskan kepada produktiviti, isu kepada perkara- perkara pemprosesan serta pemasaran seperti program e-Tani dan e-Bazar. [Soalan No.8 – Y.B. Tuan N. Gobalakrishnan (Padang Serai) tidak hadir]
9. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman [Lipis] minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan, apakah langkah-langkah konkrit yang sedang atau bakal dijalankan untuk mengatasi masalah pencemaran sungai yang semakin meningkat.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, langkah dan tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah pencemaran sungai adalah melalui program-program khusus bertujuan untuk memelihara dan memulihkan sungai-sungai merangkumi dua aspek penting iaitu pendekatan melalui kaedah pencegahan dan juga kaedah pemuliharaan. Antara langkah-langkah pencegahan ialah mempertingkatkan penguasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya di peringkat punca khususnya dari punca tetap atau dengan izin point source, yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kedua, bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar agar dapat mempertingkatkan penguasaan dan tindakan terhadap punca-punca pencemaran di bawah bidang kuasa masing-masing. Ketiga, pemantauan kualiti air sungai yang berterusan dengan memasang stesen-stesen pengawasan kualiti air sungai di lokasi strategik dan sungai-sungai penting bagi menentukan status dan tren kualiti air sungai yang kebanyakannya menjadi sumber bekalan air kepada penduduk setempat agar dapat dipastikan ianya selamat untuk digunakan.
Tuan Yang di-Pertua, bagi sungai-sungai yang didapati tercemar atau menghadapi ancaman pencemaran, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil langkah-langkah pemuliharaan sungai seperti berikut; (i) menjalankan program khusus seperti kajian terperinci lembangan sungai di bawah Program Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Sungai; (ii) melaksanakan Program Satu Negeri Satu Sungai untuk memulihara sungai dan mengembalikan sungai kepada keadaan asalnya;
(iii) melaksanakan langkah-langkah bersifat struktur seperti pemasangan gross pollutant trap atau GPT dan log boom bagi mencegah pencemaran sungai. Selain itu kementerian juga melaksanakan aktiviti-aktiviti kesedaran mengenai kepentingan sungai di dalam kehidupan seharian yang merangkumi pelbagai golongan sasaran dan semua pihak yang berkepentingan atau stakeholders dalam usaha mengurangkan masalah pencemaran sungai. Sebagai strategik jangka masa panjang, kementerian telah mula melaksanakan pendekatan pencegahan pemulihan dan pengurusan dan pelaksanaan berdasarkan Konsep Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu, Integrated River Basin Management yang akan dijalankan kajian. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih timbalan menteri. Jadi kalau kita lihat sungai ini merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia kerana melalui sungailah kita mendapat bekalan air bersih dan sebagainya. Jadi, apakah sebenarnya rancangan jangka panjang yang betul-betul konkrit yang boleh dibuat oleh kementerian terutamanya memfokus kepada satu-satu sungai sebagai contohnya Sungai Klang kah, Sungai Gombak kah yang menjadi punca sebenarnya untuk air bersih sepatutnya di Kuala Lumpur tetapi terpaksa mengambil air di tempat lain. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sudah katakan sebentar tadi bahawa untuk jangka masa panjang, kementerian saya telah merangka satu perancangan untuk menjalankan kajian berdasarkan Konsep Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu. Ini merangkumi beberapa kerja yang kita buat. Iaitu menjalankan kajian setiap sungai kecil yang akan terus ke sungai besar dan selepas itu kementerian ini akan membuat satu pelan tindakan. Pelan tindakan itu akan diuruskan, disediakan dan selepas itu ini akan diserahkan kepada kerajaan negeri supaya kerajaan negeri itu dapat melaksanakan apa yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih timbalan menteri. Yang Berhormat Timbalan Menteri telah menjelaskan persoalan pencegahan dan pemuliharaan sungai-sungai dalam negara kita. Namun dalam penjelasan yang diberikan tadi, saya tidak nampak satu tindakan yang lebih jelas dari persoalan river protocol ataupun tatacara untuk memelihara sungai khususnya yang melibatkan dua negeri yang berlainan. Maka persoalan saya ialah apakah kerajaan sudah mempunyai dasar ataupun penetapan tentang river protocol ataupun tatacara untuk memelihara sungai- sungai yang melibatkan dua negeri. Sebagai contoh ada sungai yang mengalir daripada Pahang ke Selangor dan dari Selangor ke Negeri Sembilan. Maka
apabila melibatkan dua buah negeri seperti ini apakah kerajaan mempunyai tatacara ataupun protokol sungai bagi menetapkan garis panduan yang lebih jelas bagi soalan pencegahan dan juga pemuliharaan sungai-sungai dalam negara kita, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, sememangnya kita mempunyai tatacara tertentu. Kerajaan Persekutuan akan menjalankan kajian terlebih dahulu. Apa yang sepatutnya kita buat dan seperti mana yang saya katakan tadi itu kita akan menyediakan satu pelan tindakan untuk diadaptasi oleh kerajaan negeri dan tatacara yang kita buat itu ialah sepertimana saya katakan tadi iaitu melalui konsep Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu di mana pihak Kerajaan Persekutuan kita menguatkuasakan undang-undang. Kerajaan negeri pun mempunyai akta tersendiri di mana dia akan mengambil tindakan. Jadi protokol yang dimaksudkan oleh ahli Yang Berhormat tadi itu sememangnya ada. Kita boleh kerjasama selepas itu apa yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan kita berharap supaya ia akan dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri. [Soalan No.10 - Y.B. Dr. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar)] tidak hadir] [Soalan No.11 - Y.B. Datuk Md. Sirat Abu (Bukit Katil) tidak hadir] [Soalan No.12 - Y.B. Tuan Gwo-Burne Loh (Kelana Jaya) tidak hadir] [Soalan No.13 - Y.B. Tuan Haji Salleh Kalbi (Silam) tidak hadir] [Soalan No.14 - Y.B. Puan Teresa Kok Suh Sim (Seputeh) tidak hadir]
15. Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan, apakah program yang disediakan oleh pihak kementerian bagi merangsang daya kreativiti dan inovasi di kalangan warga belia, serta apakah kriteria bagi mengkategorikan seseorang belia itu kreatif dan inovatif bersesuaian dengan tema Hari Belia Negara 2010 iaitu ‘Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara’.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pihak Kementerian Belia dan Sukan telah bekerjasama dengan beberapa pertubuhan NGO yang terlibat secara langsung di dalam bidang kreatif dan inovatif seperti Yayasan Inovasi Malaysia, Art & Designs Alliance Malaysia (ADAM) dan Information Technology Youth Movement (ITYM). Melalui NGO seperti ini beberapa aktiviti kreatif dan inovatif telah dianjurkan bersama bagi menyerlahkan bakat serta kebolehan golongan belia dalam bidang tersebut. Antara program yang telah dilaksanakan sempena Tahun Kreatif dan Inovatif 2010 adalah merangkumi aktiviti-aktiviti seni kreatif kontemporari, pembangunan teknologi maklumat untuk belia-belia di luar bandar serta aktiviti pengumpulan idea-idea kreatif golongan belia. Selain itu kementerian turut menganjurkan program Cabaran Inovasi dan Kreatif rakan Muda IPT sempena Hari Belia Negara 2010 yang lalu dan disertai oleh 38 buah IPTA dan juga IPTS. Berkenaan dengan kriteria untuk mengkategorikan seseorang belia itu kreatif dan inovatif, kementerian berpandangan bahawa golongan belia sama ada secara berkumpulan atau individu boleh dikenal pasti kreatif dan inovatif apabila mereka
dapat menterjemahkan sesuatu perkara dengan cara baru dan tersendiri dengan mendatangkan hasil yang lebih baik daripada apa yang diperolehi sebelumnya.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya suka menarik perhatian Yang Berhormat Timbalan Menteri pada tahun ini kita meraikan Hari Belia Negara pada 15 Mei dalam kaedah lain dari yang lain. Ia telah pun mendapat pengiktirafan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Lebih-lebih lagi temanya adalah Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara. Kita lihat acara-acara yang diadakan amat berbeza dan belia-belia yang terlibat adalah majoriti daripada belia- belia yang berpersatuan dan juga yang tidak berpersatuan. Soalan tambahan saya Tuan Yang di-Pertua ialah bagaimanakah KPI ataupun Angka Tunjuk Prestasi bagi belia-belia yang boleh dikatakan kreatif dan inovatif seperti yang disebutkan tadi dapat diletakkan secara spesifik dan secara objektif supaya menjadi cita-cita kepada semua belia kita untuk menjadi pemuda, belia, remaja yang kreatif dan inovatif. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat, bagi mengkategorikan seseorang belia itu kreatif dan inovatif dan mengambil kira KPI seharusnya ditetapkan dalam penghasilan sesuatu perkara atau tugasan, di antara kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang dikenakan adalah seperti berikut: (i) seseorang itu sentiasa menggunakan peluang yang ada untuk mengeksplorasi perkara-perkara baru; (ii) sentiasa proaktif dengan menggunakan sumber dan tenaga yang ada bagi mencipta sesesuatu yang baru; (iii) memiliki imaginasi yang tinggi dan pandangan yang jauh ke depan; (iv) berani dalam melakukan sesuatu yang melangkaui bidang kemampuan serta bersedia menanggung kegagalan; (v) sedia berusaha mencari idea-idea baru sama ada melalui memperluaskan perjalanan dan juga memperoleh inspirasi atau pemikiran segar; (vi) seseorang itu dapat mempertahankan idea-ideanya dan tidak terikat dengan apa-apa yang dipandang baik menurut orang lain; (vii) terbuka bagi setiap perubahan, mampu melakukan penyesuaian terhadap program-program yang telah dibuat; (viii) berusaha mencari pengetahuan secara terus menerus, mengimbangkan setiap pengetahuan yang terkumpul dan menyelaraskan setiap tindakan; dan (ix) dapat menyampaikan sesuatu perkara secara efektif, menterjemahkan konsep abstrak kepada sesuatu yang mudah difahami dan diterima. Walau bagaimanapun Yang Berhormat, kriteria-kriteria yang ditetapkan ini adalah kriteria-kriteria yang akan membawa manfaat kepada belia-belia kita dan
kriteria ini adalah kriteria objektif dan KPI- KPI ini akan ditetapkan mengikut dari masa ke semasa.
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat dengan selesainya jawapan daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada soalan nombor 11, maka sesi bagi pertanyaan-pertanyaan jawapan lisan selesai dan sebelum ke agenda seterusnya saya menjemput supaya usul di bawah Peraturan Mesyuarat 12(1) dibentangkan dahulu oleh Menteri dari Jabatan Perdana Menteri, sila. [Masa untuk Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan telah tamat]
Usul — Waktu Mesyuarat Dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan MesyuaratMotion
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan; “Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Isnin 14 Jun 2010.”
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan. Masalah dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan.
Peraturan Mesyuarat, Tuan Yang di-Pertua. Peraturan Mesyuarat 36(12). Saya ingin merujuk kepada usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tempoh hari berkaitan dengan mengecam Israel dan menyatakan sokongan yang padu kepada negara dan juga rakyat Palestin. Saya melihat bahawa ada sesuatu yang mengelirukan Dewan dan saya rasa tertipu atas usul tersebut. [Dewan riuh]
Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, kita dengar dahulu apa yang dihujah oleh Yang Berhormat Pokok Sena.
Saya rasa...
Selepas itu saya buat keputusan
Saya rasa tertipu apabila kami dipanggil untuk bersama menyokong, mendukung usul tersebut untuk memberikan sokongan kepada rakyat Palestin. Tiba-tiba semalam dilaporkan dan
hari ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan memang Malaysia berurusan dagang eksport, import dengan negara haram Israel. Ini bermakna bahawa kita telah membantu memperkukuhkan ekonomi Israel untuk digunakan bagi membantai rakyat Palestin. Jadi bagi saya bahawa kami sudah ditipu di dalam Dewan yang mulia ini... [Tepuk] Dan ini satu penghinaan kepada Dewan ini. Saya minta ruling...
Terima kasih.
...daripada Tuan Yang di- Pertua.
Yang Berhormat Pokok Sena, respons saya yang immediate kepada peraturan mesyuarat itu saya perlu untuk meneliti di mana dalam ucapan itu dan perkara-perkara yang ada kaitan yang boleh disabitkan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12). Untuk sementara itu saya akan berbalik kepada Yang Berhormat pada hari Isnin. Sila Setiausaha teruskan.
Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat 36(12)... [Dewan riuh]
Sila, sila peraturan mesyuarat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum kami Dewan ini...
Apa itu peraturan mesyuarat Yang Berhormat? Sebutkan dahulu peraturan mesyuarat di mana.
36(12).
Peraturan mesyuarat mana?
36(12) mana-mana...
36(12) mengelirukan lagi?
Ya, ya, ya.
Okey sila.
Mengelirukan dan menghina Majlis ini. Sebelum kami dalam Dewan ini mendengar Rancangan Malaysia Kesepuluh, saya hendak mengatakan Yang Berhormat Perdana Menteri...
Ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat, adakah Ahli Yang Berhormat faham Peraturan Mesyuarat 36(12) itu?
Betul, betul.
Kalau Yang Berhormat faham...
Dengar saya dahulu, Tuan Yang di- Pertua...
Yang Berhormat, Yang Berhormat, saya belum habis cakap lagi. Peraturan Mesyuarat 36(12) ialah apabila sesuatu hujah telah dibuat.
Ya.
Dan dalam hujah itu ada benda mengelirukan. Ini belum pun hujah dibuat, macam mana 36(12) berkaitan?... [Dewan riuh]
Apa yang saya baca, dia kata...
Ahli Yang Berhormat.
.Dia kata...
Ahli-ahli Yang Berhormat, tolong duduklah Ahli Yang Berhormat.
Perkataan yang digunakan dalam Peraturan Mesyuarat 36(12) adalah kenyataan.
Ahli Yang Berhormat
Kenyataan.
Ahli Yang Berhormat, duduk Ahli Yang Berhormat... [Dewan riuh] Tolonglah duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain sila senyap. Ahli Yang Berhormat yang lain tolong senyap... [Dewan riuh]
Okey.
Ahli Yang Berhormat, tolong duduk Ahli Yang Berhormat. Saya sudah faham Peraturan Mesyuarat 36(12) Ahli Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat saya mohon kerjasama. Agenda seterusnya adalah perkara yang paling mustahak iaitu RMKe-10. Jangan ganggu mesyuarat dengan peraturan-peraturan mesyuarat yang di sebaliknya itu semata-mata untuk mengganggu, Yang Berhormat. Tolong saya mohon kerjasama daripada pemimpin-pemimpin cream of the society of Malaysia ini. Tolong!
Peraturan mesyuarat dengan izin... [Dewan riuh] Peraturan Mesyuarat 24 dan Peraturan Mesyuarat 36(12). Maaf, Tuan Yang di-Pertua.
Sila, 24. Apa itu 24 huraikan dahulu Yang Berhormat. saya mahu faham 24 itu.
Berkenaan jawapan oleh pertanyaan dalam...
Tuan Yang di-Pertua... [Dewan riuh]
Ahli Yang Berhormat Sri Gading...
Karenah parti pembangkang.
Ahli Yang Berhormat Sri Gading...
Ini kerenah parti pembangkang.
Duduk dahulu, Ahli Yang Berhormat.
Duduklah.
Ya, duduk dahulu, Ahli Yang Berhormat.
Kalau Tuan Yang di- Pertua,
[Bangun]
Duduk dahulu, Ahli Yang Berhormat...
Kalau mereka bangun melanggar peraturan, sampai bila...
Duduk dahulu, Ahli Yang Berhormat...
...Perkara yang mustahak seperti yang Tuan Yang di-Pertua perkatakan tadi.
Duduk...
Saya harap Tuan Yang di-Pertua menggunakan kuasa...
Yang Berhormat...
Masa ini masa yang berharga untuk rakyat.
Yang Berhormat duduk dahulu. Kalau ada Ahli-ahli Yang Berhormat mengharapkan kuasa Yang di-Pertua, maka apabila Yang di- Pertua bercakap jangan dahulu bising.
Saya, Tuan Yang di-Pertua.
Okey, sila Peraturan Mesyuarat 24 mana, ‘kurungan’ berapa?...
Yang lebih penting sebelum Rancangan Malaysia Kesepuluh tetapi saya tidak boleh bangkitkan peraturan mesyuarat lebih awal.
Okey, okey. Peraturan Mesyuarat 24 mana satu, Yang Berhormat?
24(1)...
Okey.
Berkenaan jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri kepada soalan Nombor 2 tadi dalam Aturan Urusan Mesyuarat, di mana menyatakan bahawa statistik jenayah diminta oleh Yang Berhormat Bukit Mertajam mengapa ia dikeluarkan daripada laman web PDRM tadi Timbalan Menteri menyatakan ia hanya akan diberi apabila dipohon. Akan tetapi menerusi jawapan oleh Menteri pada 1 April berkenaan pertanyaan yang sama, Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa indeks itu boleh disiarkan dan dipaparkan dalam website selepas rangkaian maklumat itu disediakan dalam masa beberapa bulan. Jadi saya nampak ada percanggahan jawapan. Jadi saya pohon Dewan yang mulia ini dapat meneliti perkara ini dan Menteri memberi jawapan dan...
...Ambil tindakan.
...Mengambil tindakan.
Ya, ya terima kasih Yang Berhormat.
1 April adalah berlainan, bercanggah dengan apa yang dicakapkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri baru tadi.
Terima kasih, Yang Berhormat. Okey terima kasih. Kepada Menteri yang berkenaan sila...
...Tarik balik.
...Ambil perhatian kepada itu dan pada masa ketika yang bersesuaian nanti saya akan respons kepada peraturan mesyuarat yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Gajah tadi. Sila teruskan.
Usul — Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015)Motion
Bismillaahir rahmaanir rahiim. Tuan Yang di-Pertua, dengan sukacitanya saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu Usul seperti berikut: Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dalam menghadapi persekitaran global yang begitu mencabar; merestui usaha Kerajaan untuk terus melaksanakan Misi Nasional dengan disokong oleh Model Baru Ekonomi sebagai rangka dasar pembangunan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020; meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh yang akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan peruntukan yang diperlukan untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan membawa negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020 seperti dibentangkan dalam Kertas Perintah CMD.3 Tahun 2010; Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu dengan semangat “1Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” dan mempunyai iltizam yang teguh bagi melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk menjayakan pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing, demi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia”. Tuan Yang di-Pertua, alhamdulillah dipanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT lantaran izin dan rahmatNya jua, maka pada hari ini yang penuh bermakna ini, 10 Jun 2010 bersamaan 27 Jamadilakhir 1431 Hijrah, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi tempoh 2011 sehingga 2015. Rancangan ini amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah menjayakan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi. Tuan Yang di-Pertua, semenjak mencapai kemerdekaan lebih lima dekad lalu, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk telah meraih kejayaan demi
kejayaan yang menakjubkan. Hakikatnya, ketika banyak pihak sibuk menulis belasungkawa tentang negara tercinta ini. Kita telah berjaya mengesima ketidakyakinan serta kesinisan mereka. Tidak keterlaluan untuk rakyat Malaysia mendabik dada dan membuktikan bahawa dengan kepimpinan serta persekitaran yang betul pelbagai puncak berjaya di tawan, pelbagai pancang berjaya dicapai dan pelbagai tembok telah berjaya didaki. Hasilnya dari sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah yang bergantung kepada getah dan bijih timah, Malaysia hari ini telah muncul menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dengan asas ekonomi yang mantap. Kejayaan yang digarap ini, bukan datang bergolek dalam angan-angan. Tanpa perancangan mahupun tanpa usaha, sebaliknya ia hasil gigih kepimpinan kerajaan berwawasan dengan sokongan padu rakyat semenjak merdeka. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi kepada kepimpinan negara dan generasi terdahulu kerana faktanya kita hari ini membuat lonjakan di atas tapak yang telah mereka bina dengan segala jerih payah dan pengorbanan yang begitu besar. Secara sedar atau tidak, dua Rancangan Malaya, sembilan Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang serta satu Misi Nasional telah dan sudah dilalui sehingga kita tiba ke pusingan pada hari ini. Pada titik ini, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia saya ingin merakamkan rasa penghargaan tulus dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kelima-lima mantan Perdana Menteri sebermula daripada Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kesemuanya adalah wirawan negara yang mana jasanya akan tertulis dan tersepuh dik tinta emas dalam lebaran tawarikh negara. Kepada yang telah kembali menemui Pencipta, kita menadah kedua tangan memohon doa agar roh mereka dirahmati dan mendapat balasan yang sewajarnya di sisi Rabbul Jalil. Tuan Yang di-Pertua, tidak dapat dinafikan rehlah negara ini meniti dan menongkah himpunan peristiwa serta pelbagai saat suka dan duka. Sejarah yang dilewati itu wajar dianggap sebagai teladan berguna kepada kita. Namun janganlah menjadi alasan sejarah sebagai sempadan yang memenjarakan pemikiran. Untuk berjaya, rakyat Malaysia perlu berani berfikir di luar dari kotak penaakulan yang lazimnya. Sehubungan dengan itu, sekalipun kerajaan menjadikan detik-detik lalu sebagai panduan dan sempadan, kita tidak boleh sekali-kali terperangkap dengan sindrom penjara sejarah supaya tidak berlakunya paralisis dari segi tindakan yang dirancang dan apa yang ingin dilaksanakan. Bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan, ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada kadar 4.2% setahun dan pendapatan negara kasar per kapita akan mencecah RM26,420 atau USD8,260 pada tahun 2010. Tambahan lagi ianya dicapai dalam suasana kadar inflasi yang rendah manakala kadar pengangguran dijangka pada paras 3.6% pada tahun 2010. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pula diunjur mengecil kepada 5.3% pada tahun ini berbanding 7% KDNK pada tahun 2009. Pelaksanaan program pembasmian kemiskinan untuk golongan sasar pula telah berjaya mengurangkan kadarnya kepada 3.8% tahun 2009, berbanding 5.7% tahun 2005. Peratusan miskin tegar pula telah menurun daripada 1.2% kepada 0.7% dalam tempoh yang sama.
Bagi menangani cabaran kemelesetan ekonomi dunia, pada tahun 2008 dan 2009, kerajaan telah memperkenalkan pula dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion. Dengan izin Allah SWT, ekonomi negara telah semakin pulih dan mencatatkan pertumbuhan amat membanggakan pada kadar 10.1% bagi suku pertama tahun ini... [Tepuk] Ini merupakan kadar pertumbuhan tertinggi sejak sepuluh tahun yang lalu. Mudah-mudahan, bagi tahun 2010 ekonomi Malaysia akan kembali cergas dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6%. Tuan Yang di-Pertua, di persada global perjalanan kita ke arah Wawasan 2020 penuh dengan cabaran getir dan tidak menentu. Hari ini, pentas ekonomi dunia telah banyak berubah dan Malaysia tidak lagi boleh bergantung pada struktur kos yang rendah untuk terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. Arus globalisasi, liberalisasi dan negara-negara seperti China, India, Brazil, Timur Tengah dan juga negara-negara jiran telah mewujudkan persaingan sengit kepada usaha untuk menarik lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan. Selain daripada faktor persekitaran ekonomi dunia, Malaysia juga menghadapi pelbagai cabaran domestik dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi dan pada masa yang sama bertujuan melaksanakan dasar fiskal yang berhemah. Antara cabaran utama adalah untuk menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan membentuk gagasan modal insan berkualiti tinggi yang membolehkan anjakan ke tahap nilai ditambah dan produktiviti yang mantap. Tuan Yang di-Pertua, Rancangan Malaysia Kesepuluh melangkah ke hadapan - [Ketawa] [Dewan riuh] Rancangan Malaysia Kesepuluh telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti sesuai dengan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan. Dalam rancangan ini, Pendapatan Negara Kasar per kapita telah disasar untuk meningkat kepada RM38,850 atau USD12,140 pada tahun 2015. Ini memerlukan KDNK sebenar berkembang pada kadar 6% setahun. Pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan di samping menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi serta penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan. Cabaran besar rancangan ini adalah untuk memangkinkan pelaburan swasta ke tahap yang lebih cergas di mana ia disasarkan berkembang 12.8% atau RM115 bilion setahun. Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3% KDNK dalam tahun 2010 kepada kurang daripada 3% pada tahun 2015. Selain itu, kerajaan akan berusaha tanpa jemu memastikan bahawa taraf serta kualiti hidup rakyat bertambah baik terutamanya bagi golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah. Tuan Yang di-Pertua, sepuluh premis utama. Sesungguhnya tumpuan mentransformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020 memerlukan kepada penekanan yang khusus dan menyeluruh. Seluruh tenaga dan fikiran perlu digembleng ke arah mencapai objektif ini. Rancangan ini digagaskan pada sepuluh idea besar yang kini diterjemahkan sebagai sepuluh premis utama seperti berikut: (i) memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara; (ii) memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa; (iii) mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan;
(iv) menjayakan pertumbuhan dipacu oleh produktiviti dan inovasi; (v) memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul; (vi) memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas; (vii) pertumbuhan bertumpu dan pembangunan inclusive; (viii) menyokong perkongsian pintar yang efektif; (ix) menghargai khazanah alam sekitar; dan (x) kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing. Tuan Yang di-Pertua, lima teras strategik. Dalam menerajui hala tuju bagi mencapai aspirasi RMKe-10, lima teras strategik utama telah dikenal pasti ke arah mencapai objektif serta sasaran yang telah ditetapkan dalam rancangan ini. Lima teras tersebut adalah seperti berikut: (i) Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA dan NKPI; (ii) mewujudkan persekitaran bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi; (iii) menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inclusive; (iv) membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia; dan (v) mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup. Tuan Yang di-Pertua, teras strategik pertama. Proses transformasi negara menuntut kepada transformasi jentera kerajaan bagi menyokong peralihan ekonomi. Untuk muncul sebagai sebuah negara berdaya saing di peringkat global, kerajaan perlu berubah seumpama syarikat yang berdaya saing. Untuk meneruskan aspirasi kita bagi menjadi sebuah negara berdaya maju yang berpendapatan tinggi, kita tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit malahan kerajaan telah mula mengambil langkah transformational pada masa yang sama mempertahankan agenda keadilan sosial. Bagi maksud ini, kerajaan akan berpegang kepada empat tiang utama yakni formula empat campur empat (4 + 4). Dua komponen ini boleh dibahagikan kepada empat tiang utama terdiri daripada: (i) falsafah induk “1Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”; (ii) Program Transformasi Kerajaan (GTP); (iii) Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bersandarkan Model Baru Ekonomi; dan (iv) dua rancangan pembangunan lima tahun yakni Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.
Empat tiang utama ini pula didukung oleh empat nilai asas pelengkap: (i) membudayakan kreativiti dan inovasi; (ii) mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan; (iii) nilai untuk wang (value for money); dan (iv) nilai integriti. Jadinya, diibaratkan seumpama sebuah rumah. Bumbungnya adalah falsafah, induk 1Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Dindingnya adalah GTP dan ETP serta lantainya yang sedang kita bina adalah RMKe-10 dan RMKe-11 manakala ibaratnya lagi tangga menaiki rumah 1Malaysia ini adalah dasar-dasar keadilan sosial dan budaya pencapaian tinggi.
Selanjutnya langkah transformasi kerajaan sedang dibuat bermula dengan pelaksanaan enam Bidang Keutamaan Nasional atau lebih dikenali sebagai NKRA. Dengan NKRA tersebut, kerajaan bertekad untuk mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkat pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar. Bagi memastikan kehendak dan keperluan rakyat diambil kira, pendekatan rundingan dengan pelbagai pihak, termasuk sektor awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan telah diguna pakai. Sehingga kini, alhamdulillah, kebanyakan inisiatif di bawah NKRA telah membuahkan hasil. Sebagai contoh, NKRA jenayah, kadarnya telah dikurangkan sebanyak 15% pada suku tahun pertama berbanding sasaran sebanyak 5% bagi tahun 2010. Dalam usaha untuk membanteras rasuah, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini pada bulan April yang lalu. Bagi NKRA pengangkutan awam bandar, usaha penyelarasan laluan bas awam di bandar-bandar utama telah berjaya meningkatkan kadar pengguna bas awam bandar kepada 13%. Bagi NKRA pendidikan pula, seramai 18,000 kanak-kanak telah menerima manfaat daripada 929 kelas prasekolah. Inisiatif yang berterusan telah dikenal pasti oleh PEMUDAH dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan dan menambah baik prosedur kerajaan. Ini telah membuahkan hasil yang ketara dalam beberapa bidang. Misalnya, bermula 1 April 2010, tempoh masa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan telah dikurangkan kepada tiga hari berbanding 11 hari. Kini pendaftaran pindah milik tanah boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari berbanding 30 hari sebelum ini... [Tepuk] Bermula 11 Mei 2010 pula terdapat 26 lokasi di seluruh negara yang menawarkan kemudahan pemprosesan pasport antarabangsa Malaysia dalam hanya tempoh 1 jam... [Tepuk] Mara ke hadapan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran serta keupayaan inovasi yang lebih mantap. Dalam pada itu, peruntukan RMKe-10 bagi infrastruktur bukan fizikal telah meningkat kepada 40% berbanding 21.8% dalam RMKe-9. Tumpuan akan diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan modal teroka ke arah memupuk tahap inovasi negara yang lebih memberangsangkan.
Pendekatan ini juga adalah selaras dengan usaha menggalakkan sektor swasta untuk turut serta melabur dalam infrastruktur fizikal dan juga menyediakan perkhidmatan seperti latihan kemahiran. Menyokong hasrat ini, kerajaan akan ‘menyumbar’ atau outsource pelaksanaan perolehan perkhidmatan kepada sektor swasta. Maksudnya sektor swasta akan bersaing untuk menawarkan perkhidmatan latihan kemahiran kepada kos yang kompetitif. Kita maklum bahawa penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berkesan berkait rapat dengan kecemerlangan sumber manusia. Bagi mengekalkan bakat berkualiti dalam perkhidmatan awam, Rangka Kerja Pengurusan Sumber Manusia dan Pembangunan Kerjaya akan ditambah baik. Peluang kepada penjawat awam untuk menambah ilmu dan kepakaran masing- masing juga akan diperluaskan. Dalam hal ini, sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan kompetensi mereka. Tuan Yang di-Pertua, Teras Strategi Kedua. Satu pendekatan utama dalam peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi adalah mengamalkan strategi berteraskan pengkhususan. Rancangan ini akan memberi tumpuan kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA yang berpotensi untuk menjana pendapatan tinggi. Selain daripada 11 sektor ekonomi, lingkungan besar atau Greater Kuala Lumpur juga telah dipilih kerana ia berpotensi menjadi bandar bertaraf dunia yang boleh menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Butiran terperinci NKEA akan diumumkan pada bulan Oktober nanti. Berikut adalah NKEA yang telah dikenal pasti: (i) minyak dan gas; (ii) minyak sawit dan produk berkaitan; (iii) perkhidmatan kewangan; (iv) pemborongan dan peruncitan; (v) pelancongan; (vi) teknologi maklumat dan komunikasi; (vii) perkhidmatan pendidikan; (viii) elektrik dan elektronik; (ix) perkhidmatan perniagaan; (x) penjagaan kesihatan swasta; (xi) pertanian; dan (xii) Greater Kuala Lumpur. Sehubungan itu, satu unit khas iaitu Unit Transformasi Ekonomi akan ditubuhkan untuk merancang dan menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA tersebut. Selain daripada itu, penerapan penggunaan kaedah yang berteraskan teknologi tinggi akan juga diberi tumpuan dalam perancangan dan penyelarasan NKEA. Pelantar teknologi seperti bioteknologi, nano teknologi dan kejuruteraan tinggi bakal melonjakkan impak pertumbuhan dan NKEA yang telah dikenal pasti. Bagi sektor-sektor ekonomi yang tidak tersenarai di dalam NKEA pula, antaranya seperti teknologi hijau, automatif, aeroangkasa dan logistik. Usaha memajukan sektor-sektor ini akan terus dipandu oleh kementerian dan agensi dan majlis-majlis yang berkaitan.
Sememangnya sasaran pertumbuhan 6% setahun bagi tempoh rancangan ini memerlukan lonjakan ketara dalam kerancakan aktiviti pelaburan dengan diterajui oleh pelaburan swasta yang lebih cergas. Bagi mencapai maksud ini, Malaysia Investment Development Authority (MIDA) telah dikorporatkan, dijenama semula dan diupayakan dengan kuasa tambahan. Di samping itu, peraturan perniagaan yang lapuk akan dilupuskan. Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pula akan disusun kembali untuk menerajui kajian peraturan perniagaan secara menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor-sektor utama ekonomi. Adalah lazim persaingan sihat pasaran diperlukan untuk menjadikan ekonomi lebih efisien dan dinamik. Sehubungan itu, dengan ini undang-undang persaingan sedang diberi penelitian untuk menyediakan rangka kawalan terhadap manipulasi pasaran dan kewujudan amalan kartel yang boleh menjejas kecekapan pasaran. Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan. Di sudut lain, negara China, India dan Timur Tengah adalah merupakan antara negara yang pesat membangun. Malaysia yang mempunyai hubungan sejarah perdagangan, dan kedudukan geografi strategik perlu mempereratkan lagi hubungan dengan negara-negara ini termasuk Asia Timur. Oleh itu, Malaysia akan beri tumpuan yang lebih untuk membangunkan pasaran serantau melalui promosi dan perjanjian perdagangan. Di samping itu, kita akan terus mengukuhkan hubungan ekonomi sedia ada seperti di benua Eropah dan Amerika Syarikat.
Saya yakin dengan usaha yang dibuat ini akan menjadikan Malaysia antara destinasi terbaik untuk menjalankan perniagaan terutamanya di rantau Asia. Mengikut laporan Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 teratas di antara 183 negara di dunia dalam kecekapan urusan menjalankan perniagaan. Kerajaan percaya Malaysia mampu berada di kedudukan antara negara ke-10 teratas menjelang tahun 2015... [Tepuk] Hal tersebut tadi bukanlah perkara yang mustahil kerana dalam tempoh satu tahun sahaja kita telah berjaya berada antara sepuluh negara paling kompetitif di dunia seperti dilaporkan oleh Institute for Management Development. Apa yang dibanggakan adalah Malaysia merupakan satu-satunya negara OIC dan NAM yang tergolong dalam senarai itu. Namun begitu, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik dunia pada masa mendatang, insya-Allah. Seterusnya, perkongsian pintar dan berkesan antara sektor awam dan swasta akan diamalkan sebagai mekanisme penggerak agenda transformasi ekonomi. Fasa baru Perkongsian Awam Swasta (PPP) akan dilangsungkan bagi memastikan perkongsian risiko dan pulangan saksama yang berimpak besar. Tuan Yang di-Pertua, setakat ini 52 projek berimpak tinggi telah dikenal pasti untuk dilaksanakan yang bernilai RM63 bilion. Ini termasuk antaranya: (i) tujuh buah lebuh raya dengan anggaran kos sebanyak RM15 bilion. Projek ini termasuk Lebuh Raya Pantai Barat, Lebuh Raya Guthrie-Damansara, Lebuh Raya Sungai Juru dan Lebuh Raya Paroi-Senawang-KLIA; (ii) dua buah projek loji jana kuasa elektrik arang batu dengan anggaran kos sebanyak RM10 bilion; dan
(iii) pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, Selangor seluas lebih kurang 3,300 ekar dengan anggaran kos sebanyak RM10 bilion. Pihak swasta juga akan berpeluang menyertai pembangunan beberapa projek lain yang dipimpin oleh syarikat berkaitan kerajaan. Ini termasuk projek- projek seperti projek pembangunan strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi dan KL International Financial District di Kuala Lumpur, pembinaan loji re-gasification gas asli cecair LNG oleh Petronas di Melaka dengan anggaran kos RM3 bilion, serta pelaburan dua relau pelebur aluminium di SCORE Sarawak berjumlah RM18 bilion. Bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek-projek ini, dana berjumlah RM20 bilion akan disediakan melalui Dana Mudah Cara atau Facilitation Fund. Dana ini bertujuan membantu merapatkan jurang daya maju pelaburan swasta dalam melaksanakan projek bernilai tinggi dan mempunyai kesan limpahan ekonomi besar, dengan syarat projek tersebut mempunyai impak strategik tinggi dalam pembangunan ekonomi negara. Melalui dana ini, adalah dijangkakan kerajaan dapat menarik pelaburan swasta berjumlah sekurang-kurangnya RM200 bilion dalam tempoh rancangan. Projek yang sedang dipertimbangkan untuk dibiayai di bawah dana ini termasuklah penambakan tanah di West Port Pelabuhan Klang, pembangunan ‘Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor. Seperti yang diketahui, pertumbuhan ekonomi negara sudah sekian lama didorong oleh pertambahan faktor pengeluaran dengan sumbangan besar pelaburan tenaga dan pekerja. Kini, kita perlu beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti yang dipacu inovasi. Untuk maksud itu, kerajaan akan menubuhkan sebuah unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada. Satu langkah penting dalam rancangan ini ialah menambah baik kaedah pembiayaan bagi syarikat modal teroka awam. Pada masa ini, pembiayaan kerajaan kepada syarikat modal teroka awam seperti Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Malaysia Venture Capital (MAVCAP) disediakan melalui pinjaman jangka panjang. Dalam rancangan ini, pembiayaan akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman. Pembiayaan ekuiti ini akan disediakan dengan profil risiko pelaburan modal teroka. Ke arah ini, Dana Inovasi Mudarabah dengan peruntukan sebanyak RM500 juta akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan. Bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk teknologi tinggi, kerajaan akan menubuhkan dana perkembangan perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM150 juta. Matlamat dana ini bertujuan menyokong syarikat sehingga mereka dapat menjana nilai komersial yang secukupnya bagi menarik pembiayaan modal teroka dan sumber pembiayaan lain. Kita sedar ramai usahawan telah gagal dek kerana terkesan dengan risiko perniagaan di luar jangkaan. Adalah merupakan satu tragedi jika seorang usahawan yang berkaliber dan berwibawa tidak diberi peluang kedua untuk bangkit semula dan menjadi usahawan yang berjaya. Kita juga sedar banyak individu, perniagaan dan inisiatif inovasi yang telah gagal kali pertama tetapi mampu berjaya kembali kemudiannya. Justeru, undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung atau
calculated risk, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif. Tuan Yang di-Pertua, RMKe-10 akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan prasarana untuk menyokong pertumbuhan negara di samping memastikan kesejahteraan segenap lapisan rakyat. Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri. Usaha ini akan dilengkapi dengan jalur lebar untuk orang awam yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian akses pada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai. Pembangunan rangkaian pengangkutan multi model yang lebih luas dan efisien juga diperlukan untuk menyokong pertumbuhan negara. Antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu dalam fasa kedua yang akan disiapkan dalam tempoh rancangan ini dengan kos sebanyak RM3.7 bilion. Lebuh Raya tersebut juga akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan Pantai Timur di samping meningkatkan jalan raya ke pedalaman seperti jalan raya menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highlands dan dari Jerantut ke Sungai Lembing. Selain daripada itu, projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru dengan kos anggaran sebanyak RM8 bilion akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Bahru di selatan.
Projek lain pula melibatkan loji rawatan kumbahan yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai Kuala Lumpur dan kemudiannya akan diperluaskan ke seluruh negara. Tuan Yang di-Pertua, dalam rancangan ini bekalan tenaga juga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat-peringkat. Dasar baru tenaga yang telah dikenal pasti lima pendekatan yakni: (i) merasionalkan harga tenaga, mengambil kira faktor pasaran secara berperingkat selaras dengan kedudukan ekonomi semasa negara serta kemampuan rakyat; (ii) pembangunan bekalan tenaga secara lebih strategik dengan mempelbagaikan sumber tenaga termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui. Tenaga nuklear juga akan dipertimbangkan sebagai tenaga alternatif; (iii) meningkatkan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga di sektor industri komersial, kediaman dan pengangkutan; (iv) menambah baik tadbir urus bagi menyokong peralihan kepada prinsip pasaran serta mewujudkan mekanisme penyaluran bantuan sosial kepada golongan berpendapatan rendah; dan (v) memastikan dasar baru tenaga dilaksanakan berdasarkan pendekatan bersepadu dalam tempoh yang ditetapkan
supaya matlamat jaminan bekalan tenaga akan dapat dicapai. Seterusnya pembangunan ekonomi wilayah akan memberi tumpuan kepada sebilangan cluster perbandaran berdensiti yang berteraskan industri bernilai tinggi untuk menarik pelaburan dan tenaga kerja mahir. Langkah ini bertujuan menjadikan beberapa bandar raya di Malaysia sebagai destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan. Pendekatan pembangunan berasaskan cluster dalam koridor akan memanfaatkan potensi dan sumber yang ada bagi menjadi pemangkin pada pertumbuhan koridor berkenaan. Pembangunan cluster akan ditumpukan kepada sektor-sektor terpilih dengan mengenal pasti aktiviti dan pelabur utama termasuk GLC dan syarikat swasta untuk menerajui kemajuannya dalam pembangunan koridor berkenaan. Kemudian pembangunan kelompok-kelompok ini di seluruh bandar di Malaysia dijangka akan diintegrasikan supaya kawasan-kawasan di pinggir bandar dan luar bandar yang mengelilingi bandar-bandar ini akan mendapat manfaat secara langsung. Aspek seterusnya enterprise kecil dan sederhana atau SME memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan akan terus menyokong pembangunan SME termasuk syarikat-syarikat kecil yang masih di peringkat awal untuk berkembang sehingga ke tahap global. Di samping itu kita juga perlu menggalakkan SME asing untuk bekerjasama dengan SME tempatan supaya sama-sama mendapat manfaat daripada peralihan teknologi dan membuka pasaran yang lebih luas khususnya dalam sektor teknologi moden. Untuk memastikan SME mendapat akses yang mudah kepada kemudahan pembiayaan, kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Modal Kerja berjumlah RM7 bilion dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri berjumlah RM3 bilion. Hal ini telah saya umumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, keseluruhan RM7 bilion di bawah Skim Jaminan Modal Kerja telah pun diluluskan. Memandangkan sambutan kepada Skim Jaminan Modal Kerja amat menggalakkan kerajaan akan menambah RM3 bilion lagi menjadikan jumlah kesemuanya kepada RM10 bilion. Dari sudut ini, kerajaan sedar bahawa terdapat SME tempatan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa tetapi menghadapi masalah untuk bertapak di pasaran domestik, terdapat juga SME telah memperoleh pengiktirafan tempatan atau anugerah antarabangsa dari segi kualiti dan inovasi. Sehubungan itu SME tersebut akan dipertimbangkan akses green lane atau keutamaan dalam proses bidaan kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan. Di samping itu kerajaan juga memandang serius terhadap kesediaan kemudahan kredit supaya para usahawan dapat lebih giat lagi menceburi bidang SME. Sehubungan dengan ini kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agrobank supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efektif kepada para usahawan SME kelaknya nanti. Selain itu SME Corp pula akan diberi peruntukan yang secukupnya bagi memastikan SME yang berpotensi untuk berjaya dapat dibantu dengan sewajarnya. Tuan Yang di-Pertua, teras strategik ketiga. Pembangunan sosioekonomi secara inclusive. Sesungguhnya keterangkuman atau inclusiveness merupakan pra syarat bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran hasil
pembangunan negara. Pendekatan ini akan menjamin keadilan sosial pada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan tidak akan ada sesiapa pun yang berasa terpinggir. Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Prinsip progresif dan pragmatisme akan memandu dasar-dasar negara demi kepentingan rakyat. Namun kita akan tetap akur kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang akan sentiasa dijunjung dan dihormati. Agenda pembangunan bumiputera pula akan terus diberi penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan pengagihan memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik yang lebih mencabar, tibalah masanya untuk kita melaksanakan transformasi dalam agenda pembangunan bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat bumiputera yang berdaya saing dan berdaya maju. Pendekatan baru ini akan berasas kepada empat prinsip utama iaitu mesra pasaran berdasarkan keperluan merit dan ketelusan. Ertinya keutamaan akan diberikan kepada aspek meningkatkan keupayaan syarikat bumiputera. Dalam hal ini tumpuan akan diberikan pada usaha meningkatkan nilai tambah dan membina ke atas kejayaan yang telah dicapai sebelum ini. Syarikat bumiputera berpotensi yang telah membuktikan kebolehan serta kewibawaan mereka akan disokong untuk maju ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hasrat kerajaan supaya syarikat-syarikat ini dapat merealisasikan kemampuan mereka secara optimum. Jika diimbau matlamat penstrukturan penyertaan syarikat bumiputera pada awal tahun 1970-an telah memberi tumpuan pada hak milik ekuiti. Pengukuran penyertaan bumiputera kini akan diperluaskan pada aset kewangan dan bukan kewangan seperti hartanah dan premis perniagaan termasuk juga guna tenaga profesional. Kaedah yang lebih holistik dan komprehensif ini memberi penekanan bukan sahaja pada aspek pemilikan kekayaan tetapi juga aspek peningkatan pendapatan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Pada masa yang sama, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% pemilikan ekuiti korporat bumiputera dan ekonomi di peringkat makro masih kekal. Sehubungan itu, untuk memperkasakan agenda pembangunan bumiputera lima inisiatif strategik telah dikenal pasti untuk dilaksanakan seperti berikut; (i) meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera melalui penginstitusian. Dalam hal ini projek ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti PNB, LTAT dan Tabung Haji akan diperbaharui dan diperkukuh bagi menggembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti bumiputera. Dalam konteks ini kerajaan telah menubuhkan Ekuinas sebagai institusi pelaburan ekuiti swasta bumiputera. Fungsi Ekuinas adalah mirip kepada Permodalan Nasional Berhad dengan penekanan khusus untuk melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing.
Ekuinas membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran berdasarkan merit. Sehubungan itu kerajaan akan menyokong usahawan bumiputera berwibawa dan golongan profesional bumiputera berkeupayaan untuk mengembangkan syarikat masing- masing ke tahap yang lebih tinggi. Bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di arena serantau dan peringkat antarabangsa; (ii) Mempertingkatkan pemilikan hartanah bumiputera. Dalam konteks ini, Pelaburan Hartanah Berhad akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah untuk mengurangkan kekangan kepada bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut. Selain itu, Kampung Baru merupakan aset bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur. Kampung Baru perlu dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa menjejaskan kedudukan orang- orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan ini; [Tepuk] (iii) Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan bumiputera. Dalam hal ini, pakej bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran. Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak RM1.5 bilion atau separuh daripada tambahan Dana Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak RM3 bilion yang saya umumkan tadi akan diperuntukkan kepada usahawan bumiputera. Di samping itu, organisasi pembangunan keusahawanan seperti MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan diperkukuhkan. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM3 bilion akan disediakan; (iv) membangunkan guna tenaga profesional bumiputera secara lebih tuntas. Dari segi pembangunan guna tenaga, kita telah berjaya melahirkan banyak profesional bumiputera termasuk ahli korporat, akauntan, jurutera, doktor pakar dan peguam. Kini tiada profesion di Malaysia yang tidak diceburi oleh bumiputera. Malahan profesional bumiputera telah menerajui profesion kejuruteraan, perubatan, guaman, juru ukur dan seni bina. Dalam tempoh tahun 2000 hingga tahun 2008, guna tenaga profesional bumiputera telah meningkat daripada
56% kepada 63% sementara di bidang pentadbiran dan pengurusan pula, daripada 46% kepada 51%; dan (v) menubuhkan satu majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan bumiputera. Majlis ini akan diketuai oleh saya sendiri dan dianggotai oleh beberapa menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak swasta. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia kepada majlis ini, manakala Unit Pengurusan Projek, Kementerian Kewangan akan memantau program yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif. Dalam meneruskan Dasar Keadilan Sosial, kerajaan menyedari tanggungjawab dan komitmen, daripada kuasa politik yang diberikan oleh rakyat kepada matlamat ini. Oleh itu, kerajaan bertekad untuk memperhebat dasar-dasar yang mengutamakan keadilan sosial. Saya percaya masalah yang dihadapi oleh rakyat sama ada di kampung pendalaman, estet atau Kampung Baru Cina boleh diatasi sekiranya perhatian yang khusus diberikan untuk menanganinya. Oleh sebab itulah melalui tinjauan mesra, saya sentiasa mendapat maklum balas tentang kesulitan yang dihadapi oleh rakyat. Rancangan Malaysia Kesepuluh ini juga akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, di mana bumiputera merupakan bilangan terbesar iaitu 73% daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini. Sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran, serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimum, kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat untuk menghapuskan market distortions dan penyelewengan. Walau bagaimanapun keputusan berhubung pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat. Di atas segalanya, saya memberi jaminan dalam usaha mengurangkan subsidi golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing. Fokus khusus akan diberi kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami rumah-rumah panjang di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli dan pekerja estet semenanjung Malaysia. Masih terdapat mereka yang hidup tanpa bekalan elektrik dan air dan juah daripada kemudahan kesihatan. Anak-anak bersekolah terpaksa berjalan jauh merentasi jalan yang kadangkala berdebu atau lecak berlumpur dan terdapat juga antara mereka terpaksa merentas sungai untuk menimba ilmu di sekolah. Kerajaan akan membela mereka yang kurang bernasib baik ini untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan. Saya ingin memastikan bahawa kemakmuran pembangunan negara turut dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Sekadar memberi contoh dari perkampungan Melayu di Gerik, Perak; perkampungan Orang Asli di Pos Titom, Cameron Highland; pekerja India di Ladang Mary di Kuala Selangor; masyarakat Kampung Baru Cina di Pasir Hitam, Perak; masyarakat Iban di Mujong Balleh, Sarawak dan masyarakat Rungus di Kudat, Sabah. Untuk ini, kerajaan akan mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan kaedah untuk memberi hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ini akan membolehkan
mereka mendapat manfaat daripada program pembangunan pertanian secara bersepadu, menggunakan pendekatan agropolitan dan contract farming. Mereka juga akan diberi akses yang lebih baik pada infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalan, pendidikan dan latihan kemahiran. Tumpuan juga akan diberi untuk memperbaiki kualiti hidup pekerja ladang dan displace estate workers. Sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1000 atau kurang dan terletak tidak melebihi lima kilometer daripada paip utama akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM109 juta. Program latihan kemahiran pula akan disediakan terutama kepada golongan muda pelbagai kaum yang tercicir daripada persekolahan, bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Bagi mereka yang berminat menjalankan perniagaan kecil-kecilan, akses kepada kemudahan mikro kredit. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar. Kemudahan pinjaman ini akan dipakej bersama latihan keusahawanan bagi membina keupayaan mereka dalam bidang seperti pengurusan kewangan, penyediaan rancangan perniagaan, pemasaran dan promosi. Latihan ini akan dijalankan di institusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pusat Giat MARA dan Institut Kemajuan Desa. Penduduk yang tinggal di kawasan Kampung Baru Cina akan juga diberi bantuan. Kini terdapat 280,000 isi rumah yang tinggal di kawasan Kampung Baru Cina, untuk membantu mereka membuat pembayaran premium tanah bagi perlanjutan tempoh pajakan, mereka akan disediakan pinjaman mudah yang akan disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional. Untuk ini, sebagai permulaan, dana pembiayaan sebanyak RM100 juta akan disediakan. Selain daripada itu, untuk menangani isu-isu masyarakat yang lain Jawatankuasa-jawatankuasa Kabinet mengenai hal ehwal kaum India dan kaum bumiputera Sabah Sarawak akan diteruskan. Tuan Yang di-Pertua, Teras Strategi Keempat, membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia. Persaingan untuk modal insan juga semakin meningkat, di mana banyak negara terutama negara maju mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal insan yang cemerlang, termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan cutting edge kepada daya saing negara. Dalam hal ini, kerajaan akan mengambil langkah holistik bagi memperkukuh sistem pendidikan dan latihan bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi. Di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, kerajaan juga akan memastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap yang sewajarnya.
Untuk menambah baik lagi kualiti pelajar, nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28% kepada 60%. Prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal terutamanya Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik akan juga dipertingkatkan dengan menambah bilangan guru berkualiti. Bagi mencapai matlamat ini, program pensiswazahan guru akan dipergiatkan. Bagi memperhebat kualiti guru prasekolah pula, syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada diploma dan sarjana muda. Kerajaan berhasrat menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan kepada calon yang cemerlang.
Bagi memenuhi keperluan guru Bahasa Mandarin di sekolah jenis kebangsaan serta sekolah kebangsaan, lulusan Unified Examination Certificate (UEC) yang telah memiliki Sijil SPM sebelumnya akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program Bahasa Cina. Pertimbangan yang sama juga akan diberi kepada lepasan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru kepada Program Pendidikan Agama Islam dan j-QAF. Dalam aspek ini juga, kerajaan telah menubuhkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Sejumlah 20 buah sekolah telah diberi status SBT berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka. Bilangan SBT akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada sekolah rendah, menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh. Sekolah Amanah atau Trust Schools akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah-sekolah kerajaan yang terpilih. Sekolah-sekolah tersebut akan diberi kuasa autonomi oleh kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar. Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan. Kerajaan akan terus membantu sekolah bantuan modal untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan sekolah. Bagi tujuan mengubahsuai dan menaik taraf sekolah bantuan modal, peruntukan sebanyak RM280 juta akan disalurkan dalam tempoh 2011 hingga 2012. Dengan ini, setiap satu kategori sekolah bantuan modal iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh atau mission school akan memperoleh peruntukan tambahan sebanyak RM70 juta setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012... [Tepuk] Tambahan lagi, bagi membiayai pembayaran utiliti, kerajaan akan memberi bantuan berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap sekolah bantuan modal... [Tepuk] Peruntukan ini akan melibatkan hampir 1,900 sekolah bantuan modal keseluruhannya. Tuan Yang di-Pertua, anak-anak adalah harta dan warisan paling berharga kepada manusia. Merekalah masa depan kita. Adalah menjadi komitmen kerajaan untuk memberikan aset negara ini segala kelebihan untuk mereka berjaya dalam hidup di kemudian hari yang penuh persaingan dan cabaran. Pelaburan terhadap mereka adalah pelaburan terhadap masa depan negara. Oleh itu, kita telah pun menjadikan pendidikan awal kanak-kanak sebagai agenda penting nasional melalui Program PERMATA... [Disampuk] Mengikut kajian pakar tentang kanak-kanak, secara amnya, akan terdapat seorang yang pintar cerdas daripada kalangan 10,000 kanak-kanak. Mengikut statistik 2007, jumlah kanak-kanak di bawah umur 14 tahun di Malaysia adalah seramai 8.9 juta orang. Dari itu, berdasarkan rasional ini, kita boleh menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 900 orang pintar cerdas dari kalangan kanak-kanak di Malaysia. Penyertaan kanak-kanak yang berumur antara empat hingga lima tahun di peringkat prasekolah akan dipertingkatkan daripada 67% pada tahun 2010 kepada 87% pada tahun 2012. Sasaran ini akan dicapai melalui penambahan kelas prasekolah di sekolah rendah kerajaan dan menggalakkan sektor swasta menyediakan pendidikan prasekolah. Insentif
sebanyak RM10,000 akan diberi pada sektor swasta untuk menubuhkan institusi prasekolah swasta. Selain daripada memperkukuh program prasekolah, kerajaan sedang menimbang untuk mengurangkan umur persekolahan formal daripada enam tahun kepada lima tahun pada akhir tempoh rancangan ini tertakluk kepada kemampuan kerajaan. Langkah ini akan meningkatkan akses kepada pendidikan formal ke arah memperkasakan pembangunan awal kanak-kanak. Di negara maju, pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjadi antara pilihan utama pelajar kerana ia menyediakan prospek kerjaya yang baik. Sebaliknya di negara kita, ia dilihat sebagai pilihan terakhir kerana persepsi prospek kerjaya yang terhad. Andaian negatif ini harus disangkal. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebenarnya menyediakan landasan alternatif yang baik bagi para pelajar merealisasikan potensi mereka. Seramai 100,000 lepasan SPM memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa latihan kemahiran. Bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan teknikal dan latihan vokasional, kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan dipertingkatkan. Dalam hal ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dijadikan agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan tinggi dan latihan vokasional. Sijil Kemahiran Malaysia pula akan dijadikan pensijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi. Saya percaya bahawa ini akan meningkatkan keyakinan dan mendorong lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional. Berhubung tenaga kerja, kini hanya terdapat 23% sahaja tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Peratusan ini jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Kita perlu meningkatkan komposisi pekerja berkemahiran tinggi kepada sekurang-kurangnya 37% menjelang tahun 2015 untuk menjadi sebuah negara maju. Bagi menggalakkan perkhidmatan sektor swasta dalam melatih pekerja berkemahiran tinggi, kerajaan akan mengambil langkah-langkah berikut: (i) memperluas liputan geran sempadan Tabung Pembangunan Sumber Manusia serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu majikan Industri Kecil dan Sederhana melatih pekerja mereka; (ii) menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman kepada pekerja bagi mengikuti latihan untuk meningkatkan kelayakan. Sejumlah RM500 juta akan disediakan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran yang dianggar memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 38,000 pekerja; (iii) menubuhkan tabung untuk pembiayaan bersama iaitu kerajaan dan majikan sama-sama membiayai pekerja melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang yang berkaitan dengan industri di mana pekerja itu bekerja; (iv) memperluaskan pelaksanaan Program Sistem Latihan Dual Nasional yang melibatkan kandungan latihan sebanyak 70% secara hands-on di tempat kerja dan 30% latihan teori di institusi latihan. Pada masa ini, SLDN
disediakan kepada pekerja dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja melangkah ke hadapan. Program ini akan merangkumi pelajar yang tidak menamatkan 11 tahun persekolahan; (v) mempergiatkan pelaksanaan pengiktirafan pencapaian terdahulu atau Recognition of Prior Learning iaitu menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia kepada 60,000 orang pekerja setahun dengan mengiktiraf pengetahuan, pengalaman dan kemahiran pekerja yang diperoleh di tempat kerja; dan (vi) menggalakkan sektor swasta dalam menyediakan latihan kemahiran dan vokasional menerusi kaedah PPP. Untuk meningkatkan kompetensi graduan pula, employability atau boleh upaya diambil kerja, graduan akan dijadikan satu daripada KPI universiti.
Penyediaan peruntukan kepada universiti akan bergantung pada sejauh mana universiti mencapai KPI yang ditetapkan. Di samping itu kerajaan akan memberi autonomi kepada universiti secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan prestasi universiti. Untuk itu kualiti staf akademik akan dipertingkatkan dengan menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD yakni 75% bagi Universiti Penyelidikan atau Research University dan 60% bagi universiti awam lain. Bagi mencapai sasaran ini pelaksanaan Program MyBrain 15 iaitu program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dengan matlamat meningkatkan jumlah pemegang PhD kepada 18,000 orang pada tahun 2015 akan dipergiatkan. Di samping itu pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara. IPT memainkan peranan utama dalam menggerakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan di negara ini. Ahli akademik dalam pelbagai bidang kepakaran merupakan peneraju kepada penerokaan idea, konsep, teori baru yang menjadi tunjang kepada penemuan baru, perkembangan ilmu dan ciptaan yang lebih canggih. Terdapat hubungan yang signifikan di antara pertumbuhan ekonomi dan kegiatan R&D pengajian tinggi. Justeru bagi menggalakkan kegiatan R&D, kerajaan telah mengiktiraf Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia sebagai universiti penyelidikan. Bagi melonjakkan lagi R&D dalam tempoh ini terutamanya dalam bidang teknologi, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan secara rasmi bahawa sebuah lagi IPTA sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan. Universiti tersebut ialah Universiti Teknologi Malaysia. [Tepuk] Kecekapan pasaran buruh negara perlu dipertingkatkan. Sehubungan dengan itu undang-undang perburuhan yang berkaitan akan dikaji semula bagi memastikan keseimbangan antara kelenturan pasaran buruh dan jaminan pekerjaan. Pada masa ini negara mempunyai lebih kurang 1.9 juta pekerja asing. Memang tidak dinafikan kita masih memerlukan mereka khususnya dalam pekerjaan yang tidak diminati oleh pekerja tempatan. Walau bagaimanapun kebergantungan secara berterusan terhadap pekerja asing tidak mahir akan menghalang hasrat kita untuk beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi. Oleh itu dasar penggajian pekerja asing akan diperkemas dengan memperkenalkan kadar levi berbeza mengikut nisbah pekerja asing kepada jumlah
pekerja dalam syarikat dan berbeza mengikut tahap kemahiran pekerja asing. Kadar yang lebih tinggi akan dikenakan bagi pekerja kurang mahir. Kadar tersebut akan ditingkatkan pada setiap tahun. Dalam konteks ini juga untuk menarik lebih ramai tenaga kerja mahir ke negara ini, kerajaan akan menubuhkan sebuah badan baru yakni Talent Corporation yang akan mengenal pasti kekurangan kemahiran di sektor-sektor utama serta menarik dan mengekal modal insan kemahiran yang diperlukan. Dalam kita berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi terdapat lebih kurang 700 ribu rakyat Malaysia yang berkemahiran masih bekerja di luar negara. Oleh itu Talent Corporation juga akan menerajui inisiatif menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada keperluan tenaga kerja mahir negara. Untuk ini Talent Corporation akan menyediakan rangka tindakan modal insan berkemahiran yang bersepadu dengan kerjasama sektor awam dan swasta. Di samping itu Talent Corporation akan menjadi sebuah pusat sehenti bagi memudahkan urusan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan termasuk urusan imigresen bagi kemasukan tenaga kerja mahir ke Malaysia. Bagi menggembleng potensi intelektual dan kepakaran yang sedia ada di IPTA, kerajaan telah pun menubuhkan Majlis Profesor yang telah saya lancarkan baru-baru ini. Kepakaran seramai lebih 1,400 profesor di IPTA seluruh negara akan dapat dimanfaatkan melalui prakarsa ini. Salah satu lagi agenda nasional bagi menjelmakan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ialah penghasilan modal insan yang berkualiti. Oleh itu kita mahukan institusi pengajian tinggi awam mempunyai murabbi yakni tenaga pengajar dan penyelidik yang terbaik dan bermotivasi. Oleh kerana itulah kerajaan telah mengumumkan skim perkhidmatan yang lebih baik untuk profesor di IPTA dan pensyarah Institut Perguruan. Di bawah penambahbaikan skim ini, satu kategori baru iaitu profesor kanan telah diwujudkan dan diletakkan di bawah tangga gaji Gred Turus. Pelantikan ke peringkat ini hanya akan dihadkan mengikut kelayakan dan keupayaan individu tersebut tanpa ada sekatan angka siling tertentu. Tidak cukup dengan itu kerajaan juga telah membuat keputusan untuk memperkasa gelaran Profesor Diraja yang sedia ada dengan pakej remuneration yang lebih setimpal dengan wibawa pemegang gelaran ini. Tuan Yang di-Pertua, Teras Strategik Kelima mewujudkan persekitaran ke arah mempertingkatkan kualiti hidup. Pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mampan tiada maknanya jika kualiti hidup segenap lapisan masyarakat tidak turut meningkat. Oleh itu selaras dengan konsep keadilan sosial yang diterapkan di dalam rancangan ini, kerajaan akan memastikan agar kemakmuran ekonomi negara diagihkan sebaiknya supaya kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan. Mutakhir ini medan persaingan ekonomi tidak lagi terhenti hanya di peringkat negara tetapi antara bandar. Aktiviti ekonomi sendirinya akan tertumpu di bandar dan kepadatan firma serta modal insan berpengetahuan mendorong produktiviti serta inovasi. Dengan itu bandar merupakan pilihan pertama dalam perjuangan mencapai pendapatan tinggi. Cabaran yang dihadapi ialah untuk menyediakan kualiti hidup bandar dan memastikan bahawa faedah kepadatan tidak terjejas berikutan peningkatan jenayah, pencemaran dan kesesakan atau crime, grime and time. Hakikatnya trend urbanisasi di Malaysia semakin meningkat. Pada masa ini 67% daripada penduduk tinggal di kawasan bandar. Berdasarkan kepadatan tersebut kerajaan akan berusaha memastikan bahawa kawasan bandar selesa didiami dengan liputan kemudahan asas yang mencukupi.
Dalam hal ini Pelan Fizikal Negara Kedua yang akan dimuktamadkan pada tahun ini mempunyai perancangan strategik dan terurus agar dapat mewujudkan kawasan bandar mampat dan efisien. Selain itu kerajaan ingin menyediakan suasana kehidupan yang menarik dan nyaman bagi warga bandar menjalankan perniagaan, pelbagai aktiviti seperti riadah dan rekreasi. Pewujudan kawasan lapang atau hijau akan diperkembangkan. Antara contoh inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk merubah kawasan Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur sebagai sebuah taman botani dan pewujudan pusat pelancongan Malaysia Truly Asia di Kuala Lumpur. Selain itu kawasan pinggiran sungai atau waterfront akan diindahkan sebagai kawasan rekreasi seperti yang telah dilaksanakan di Sungai Melaka. Tuan Yang di-Pertua, fokus juga akan diberikan pada usaha meningkatkan liputan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar. Kerajaan menyasarkan pembinaan sebanyak 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak. Ia akan memberi faedah kepada 3.3 juta penduduk. Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 59% di Semenanjung Malaysia, 98% di Sabah dan 95% di Sarawak juga sedang diusahakan. Ini melibatkan penyambungan bekalan air kepada sebanyak 117,000 rumah di Semenanjung Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak. Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalan ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia; 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak. Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, kerajaan juga akan menyediakan kemudahan imuniti sosial serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi kepada masyarakat luar bandar.
Kerajaan juga sedang memberi keutamaan kepada usaha penambahbaikan sistem pengangkutan awam dalam negara. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi merancang, mengawal selia dan menguatkuasakan sistem serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam. Selaras dengan pendekatan utama yang diberi kepada NKEA Greater Kuala Lumpur, kerajaan akan memperkemaskan lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi. Saya percaya projek ini merupakan satu lagi ikon kepada ibu negara kita dan akan memberi impak yang meluas dan spillover kepada rangkaian perniagaan berkaitan. Apabila siap kelak, sistem yang bersepadu ini dijangka meliputi kawasan dalam lingkungan 20 kilometer dari pusat bandar dan melibatkan pembinaan landasan sepanjang lebih kurang 150 kilometer yang membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini. Pembinaan terminal bas dan rel seperti Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak juga akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perjalanan pengangkutan awam. Langkah-langkah ini dijangka akan meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam dengan ketara di Kuala Lumpur iaitu
dari 12% pada tahun 2009 kepada 30% pada tahun 2015. Selain itu, usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam darat akan diperluaskan kepada bandar raya lain. Untuk tujuan ini sistem bas rapid transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar Johor, manakala bilangan bas awam akan ditambah sebanyak 200 buah di Pulau Pinang untuk menampung 26 laluan dengan penambahan kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari. Tuan Yang di-Pertua, masyarakat yang sihat merupakan aset dan penyumbang kepada pembangunan negara dinamik lagi produktif. Justeru aspek penambahbaikan tahap kesihatan rakyat akan diberi tumpuan khusus, akses liputan serta kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Antara inisiatif utama kerajaan dalam hal ini adalah pembinaan lapan hospital termasuk hospital-hospital pakar, 197 buah klinik dan juga tambahan 50 Klinik 1Malaysia yang akan disiapkan dalam tempoh separuh pertama rancangan ini. Pujangga menyebut bahawa, “Akal yang sihat datangnya dari badan yang cergas, masyarakat yang aktif bersukan akan menjadi masyarakat yang sihat dan produktif”. Tambahan lagi sukan bukan sahaja dapat menjulang dan mengharumkan nama negara, tetapi juga menjadi wadah kepada perpaduan dan integrasi nasional. Sehubungan itu, kerajaan dengan kerjasama sektor swasta akan memberi penekanan supaya aktiviti sukan dan rekreasi dijadikan aktiviti keluarga serta dibudayakan dalam kehidupan harian masyarakat. Justeru, kemudahan sukan dan rekreasi akan dibina serta dinaik taraf di kawasan strategik dan mudah akses oleh orang ramai. Selain itu, hasrat utama kerajaan adalah untuk menyediakan perumahan mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat terutamanya yang berpendapatan rendah. Kerana itu 78,000 buah rumah mampu milik akan dibina di bawah rancangan ini. Undang-undang berkaitan akan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan ke arah memastikan rumah mampu milik dibina dengan kualiti yang sewajarnya. Satu dana berjumlah RM500 juta akan diperuntukkan bagi tujuan membiayai kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan pada kaedah geran sempadan di mana separuh daripada kos akan disumbang oleh kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan. Berbicara tentang keselamatan dan ketenteraman awam, ia akan dipertingkatkan kerana hasilnya memberi manfaat yang begitu berharga kepada rakyat. Usaha dan strategi kerajaan dalam menjamin keselamatan awam telah menampakkan hasil berdasarkan pengurangan indeks keseluruhan jenayah bagi suku pertama tahun ini. Rondaan polis akan dipertingkatkan terutama di 50 hot spot yang telah dikenal pasti untuk membendung aktiviti jenayah. Usaha ini dibantu oleh pihak RELA, Jabatan Pertahanan Awam dan sukarelawan awam yang lain. Tambahan lagi sebanyak 496 CCTV sedang dipasang di seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan pemantauan. Program Safe Cities juga akan terus dilaksanakan dengan menggembleng tenaga pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja, pihak berkuasa tempatan, Agensi Antidadah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tuan Yang di-Pertua, kata orang, “Tangan yang mengayun buai itu mampu sahaja menggegar dunia”. Status wanita di dalam sesebuah masyarakat itu merupakan ukuran penting sama ada negara itu dinamik serta progresif. Wanita adalah batu asas keluarga yang sejahtera dan tunjang kepada negara
yang berjaya. Langkah akan diambil untuk meningkatkan penyertaan wanita di pelbagai peringkat dalam sektor awam dan swasta termasuk dalam bidang keusahawanan. Undang-undang dan peraturan berkaitan sedia ada akan disesuaikan bagi mendorong penyertaan lebih besar daripada wanita. Jadinya saya menyeru agar sektor swasta meningkatkan penglibatan wanita terutamanya dalam jawatan peringkat tertinggi seperti ketua pegawai eksekutif dan ahli-ahli lembaga pengarah. [Tepuk] Dari sudut lain, generasi muda adalah generasi yang penting kerana merekalah yang akan mencorakkan masa depan negara. Kerajaan akan bersifat accommodative terhadap aspirasi mereka sebagai segmen terbesar warganegara. Kita akan menjadi pendengar dan rakan kongsi yang lebih baik serta konstruktif. Idealisme dan tenaga mereka amat diperlukan negara untuk merealisasikan masa depan yang lebih baik. Oleh itu kerajaan akan memperkemaskan sistem penyampaian program pembangunan belia sedia ada bagi memastikan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosioekonomi. Negara terutamanya melalui aktiviti kesatuan dan sukarelawan. Berikutan kejayaan sambutan Hari Belia yang diadakan baru-baru ini di Putrajaya, saya juga ingin mengumumkan bahawa bandar Putrajaya akan dijadikan bandar yang lebih mesra sebagai lokasi tumpuan yang menyediakan ruang dan peluang bagi belia menjalankan aktiviti dan program yang bermanfaat dan bersesuaian. Tidak dilupakan juga adalah golongan warga emas. Pada tahun 2020, dianggarkan akan terdapat 3.4 juta orang warga emas di negara ini. Kerajaan menyedari bahawa memanfaatkan golongan warga emas merupakan satu usaha yang bernilai. Golongan ini seharusnya diberi peluang untuk menghadapi penuaan yang aktif dan produktif. Selain itu tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan infrastruktur yang lebih mesra warga emas, meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang mampu dibiayai, menyediakan rumah perlindungan yang mencukupi dan mengukuhkan kewangan serta peluang pekerjaan. Oleh itu kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta perlu dipertingkatkan untuk membawa penglibatan aktif warga emas dalam aktiviti sosial dan ekonomi negara. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan komited untuk meningkatkan kesejahteraan orang kurang upaya. Langkah akan terus diambil untuk menyediakan pelbagai peluang termasuk latihan kemahiran, pekerjaan serta keusahawanan. Lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya juga akan disediakan terutamanya dari segi pengangkutan awam serta kemudahan di premis dan bangunan. Tumpuan juga akan diberi kepada usaha mengarus perdana OKU ke dalam masyarakat supaya mereka boleh berdikari, produktif dan menjadi penyumbang yang dihargai dalam pembangunan. Dalam tempoh rancangan ini lagi, pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk memastikan kemapanan alam sekitar. Penekanan akan diberi kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan kecekapan tenaga. Antara lain, kerajaan akan memperkenalkan Feed-in Tariff dan dana tenaga boleh diperbaharui bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharui. Garis panduan, piawaian dan undang-undang berkaitan akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau.
Pendekatan kerajaan ini bukan dibuat atas dasar tanggungjawab beretika sahaja, kerajaan akan menggalakkan pewujudan peluang ekonomi daripada
usaha pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh, ekopelancongan menyediakan pelbagai peluang menjana pendapatan bagi masyarakat setempat untuk menggalakkan pemuliharaan flora dan fauna negara. Kita juga harus merebut peluang dalam arus perdana global di mana permintaan bagi produk perkhidmatan dan teknologi hijau semakin meningkat. Dalam hal ini, saya menyeru pihak industri mengambil peluang dan menggunakan insentif yang telah disediakan oleh kerajaan melalui skim pembiayaan teknologi hijau sebanyak RM1.5 bilion bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan perumahan mesra alam dengan memperkenalkan garis panduan serta sistem penarafan hijau. Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi bandar hijau contoh. Kerajaan juga akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau. Bangunan baru kerajaan akan direka bina untuk mematuhi piawaian ini. Kecekapan tenaga bangunan sedia ada kerajaan juga akan ditambah baik. Sebagai contoh teladan, bangunan pejabat Perdana Menteri akan dinaik taraf untuk mematuhi penarafan hijau yang bertaraf gold standard. Tuan Yang di-Pertua, mulai RMKe-10, pelaksanaan program dan projek secara rolling plan akan diperkenalkan. Melalui pendekatan ini, peruntukan program dan projek pembangunan akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula dengan tahun 2011 hingga 2012. Pendekatan ini membolehkan komitmen dibuat berdasarkan keupayaan kewangan semasa kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru, sesuai dengan perubahan persekitaran ekonomi domestik atau global. Senarai terperinci program dan projek bagi rolling plan pertama akan dikeluarkan pada akhir bulan Ogos tahun ini. Bagi melaksanakan program pembangunan RMKe-10, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan sebanyak RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Untuk tujuan ini, sebanyak 55% akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30% kepada sektor sosial, 10% kepada sektor keselamatan dan 5% kepada sektor pentadbiran am. Tuan Yang di-Pertua, sebagai kesimpulannya, merujuk semangat Piala Dunia yang akan bermula esok, kita boleh mengiaskan kejayaan untuk menterjemahkan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya. Sebagai sebuah pasukan bola untuk berjaya, kesemua pemain dari pasukan tersebut tanpa mengira posisi perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan. Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak mungkin akan menang, malahan boleh kalah teruk. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama penting. Walau bagaimana hebat pun pemain secara individu, namun mereka hanya akan menggondol detik kemenangan sebenar jika bermain secara berpasukan. Oleh itu, setiap aset pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan potensinya bagi mencapai kejayaan. Jika sekalipun setiap pemain adalah sebaik Rooney, Messi, atau Ronaldo yang umum mengetahui antara penyerang terulung dunia, akan tetapi jika pemain pertahanan dan penjaga gol lemah, maka pasukan tersebut barangkali kalah kerana jumlah gol yang dijaringkan mungkin tidak dapat mengatasi jumlah gol yang di bolos lawan. Maka yang demikian, untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dalam satu wawasan, [Tepuk] satu
matlamat dan satu citra mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu. Diakui orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan Dusun, orang Melanau, orang Murut, orang Sikh, Orang Asli, orang Serani, orang Siam. Pendek kata, setiap etnik di bumi tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara Malaysia yang aman makmur sepertimana hari ini. [Tepuk] Namun harus diingat, ia tidak dapat menandingi potensi sumbangan yang mampu dihasilkan oleh semua kita seandainya dan sekiranya dilakukan secara kolektif. Lantaran itu, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik supaya bersama-sama dengan kerajaan mencipta sebuah negara Malaysia yang lebih baik. Malaysia di mana mempunyai semua rasa kepunyaan, Malaysia di mana semua bakat dihargai, digunakan sebaik-baiknya. Malaysia di mana yang mengehadkan adalah hanya sejauh mana kesanggupan individu untuk bekerja keras bagi mencapai cita-cita. Suka tidak suka, negara hari ini berada di persimpangan antara masa hadapan yang gemilang atau masa hadapan yang suram. Pilihan kita terletak di tangan setiap rakyat Malaysia. Hari ini ibarat kita berada pada pusingan akhir lumba larian berganti-ganti, baton sudah berada di tangan, hanya menanti tekad untuk mengapai kejuaraan. Bermula detik ini, bersamalah kita mengorak perjalanan. Perjalanan yang bukan mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun tetapi perjalanan yang bertali arus, sambung menyambung, diwarisi pula dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Berusaha dan bertawakallah, mudah-mudahan kita bertemu jaya, insya-Allah. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong
Ahli-ahli Yang Berhormat, sepertimana Yang Berhormat sekalian sedia maklum melalui notis pemberitahuan dan takwim yang telah diedarkan, sebanyak 10 hari telah diperuntukkan bagi memutuskan usul ini. Sebanyak enam hari iaitu 14 Jun sehingga 22 Jun 2010 telah diperuntukkan untuk perbahasan dan empat hari iaitu dari 23 Jun sehingga 29 Jun 2010 untuk kementerian-kementerian menjawab ke atas perbahasan usul berkenaan. Perbahasan ke atas usul RMKe-10 ini akan bermula pada hari Isnin 14 Jun 2010. Oleh yang demikian, mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Isnin, 14 Jun 2010. Dewan ditangguhkan pada pukul 1.16 petang