Dewan Rakyat · 12 March 2012
15th Parliament, session 5, meeting 1 · 8 turns · 2,792 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Tuan yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Yang Kedua Belas
Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen Yang Keduabelas Penggal Kelima yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung. Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama. Sekarang saya tempohkan Persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan. Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.50 pagi. Mesyuarat disambung semula pada pukul 11.00 pagi. [Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]
Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong — ALMU’TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH Bismillaahir Rahmaanir Rahiim Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wabihi Nasta’iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.Bill
Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama berkumpul bagi Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Kedua Belas. Sempena majlis yang mulia ini, Beta menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Paduka Anakanda Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al- Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang telah bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia bagi menaungi negara dan memayungi rakyat selama lima tahun dengan adil dan saksama. Insya-Allah, dengan limpah kurniaNya, Beta akan meneruskan kesinambungan pemerintahan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan rahmatNya Beta dianugerahkan kesihatan yang berterusan sehingga membolehkan Beta menaungi negara Malaysia yang tercinta bagi kali kedua berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan... [Tepuk] Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri yang telah merealisasikan pelbagai pembaharuan melalui Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan... [Tepuk] Ia telah berjaya meningkatkan kesejahteraan rakyat dan imej negara di persada antarabangsa. Beta menyeru seluruh rakyat jelata supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan untuk memastikan negara terus maju, aman dan harmoni. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sesungguhnya Malaysia adalah bumi bertuah dan dilimpahi nikmat kemajuan dan kemakmuran walaupun dunia dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi. Dalam hal ini, Beta percaya di bawah kepimpinan dan ketekunan Mamanda Perdana Menteri, negara terus berada di landasan yang kukuh ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan agenda transformasi yang bertujuan untuk menyediakan peluang kehidupan lebih baik kepada rakyat. Pada masa yang sama, keluhan dan luahan hati rakyat turut didengar. Keprihatinan ini dapat dilihat daripada pelbagai projek dan program yang memberi manfaat secara terus kepada rakyat sama ada dalam bentuk bantuan wang tunai mahupun inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan meringankan beban kewangan dan membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih selesa. Rakyat boleh menanti dengan pasti kehadiran lebih banyak lagi program dan projek yang akan memberi manfaat yang impaknya dapat dirasai oleh rakyat pelbagai lapisan sama ada di bandar mahupun di ceruk desa. Dasar Transformasi Nasional yang merangkumi Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar telah mula membuahkan hasil untuk dinikmati oleh rakyat. Bagi memastikan pertumbuhan negara terus mampan, Kerajaan Beta akan terus melaksanakan program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh dengan memberi tumpuan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dan bermanfaat kepada rakyat. Sesungguhnya usaha-usaha
ini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun, berkat usaha gigih Kerajaan dan sokongan rakyat, negara kekal makmur walaupun dunia kini bergelut dengan krisis kewangan, kemelut politik dan ketidaktentuan persekitaran. Petunjuk-petunjuk ekonomi utama tahun 2011 seperti pertumbuhan ekonomi negara pada kadar lima perpuluhan satu peratus menepati sasaran nasional, jumlah dagangan Malaysia bernilai hampir satu perpuluhan tiga trilion ringgit yang merupakan jumlah dagangan tertinggi direkodkan, kemasukan pelaburan langsung asing bersih yang besar sebanyak tiga puluh dua perpuluhan sembilan bilion ringgit, kutipan cukai langsung melebihi seratus bilion ringgit iaitu paras tertinggi pernah dicapai... [Tepuk] Pengurangan defisit fiskal kepada lima peratus berbanding unjuran asal pada lima perpuluhan empat peratus, prestasi FBM KLCI yang di antara terbaik di kalangan pasaran saham rantau Asia, kadar pengangguran kekal rendah di bawah tiga perpuluhan lima peratus dan sebagainya membuktikan pengurusan ekonomi Kerajaan dan dasar serta program yang dilaksanakan adalah di landasan yang betul. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Untuk menjayakan transformasi Kerajaan, keupayaan jentera Kerajaan melaksanakan semua projek dan program mengikut jadual dan menepati keperluan kumpulan sasar adalah amat penting. Oleh itu Perkhidmatan Awam sebagai tonggak jentera Kerajaan perlu sentiasa mencari idea dan pendekatan baru yang lebih kreatif serta inovatif, cekap, berintegriti serta berfikiran terbuka. Beta berbangga dengan pelbagai pembaharuan dalam sistem penyampaian Kerajaan terutamanya perkhidmatan secara atas talian yang turut didukung oleh Dasar Inisiatif Jalur Lebar Negara yang telah mencapai tahap penembusan di seluruh negara sebanyak enam puluh tiga peratus pada tahun 2011. Dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh, Kerajaan Beta akan terus memperhebatkan penggunaan sumber domestik terutamanya melalui pelaburan dan penggunaan swasta. Kira-kira lima puluh lima peratus daripada pelaburan domestik pada tahun 2011 adalah pelaburan swasta dan ini adalah sejajar dengan hasrat supaya sektor swasta memacu pertumbuhan ekonomi negara. Pelbagai usaha akan terus dilaksanakan untuk menstrukturkan semula dan mentransformasikan ekonomi domestik. Di peringkat antarabangsa, hubungan kerjasama global dalam bentuk pelaburan dan perjanjian perdagangan bebas serta integrasi rantau perdagangan baru akan turut dipertingkatkan. Peranan sektor swasta terutamanya perusahaan kecil dan sederhana adalah semakin penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. Atas landasan inilah, Pelan Induk Perusahaan Kecil Dan Sederhana 2012 hingga 2020 digubal bertujuan untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi merangsang pertumbuhan sektor tersebut. Beta amat berbangga dengan pencapaian sektor pelancongan yang mencatatkan pertambahan pendapatan daripada pelancong asing dan domestik. Sektor pelancongan adalah penyumbang kelima kepada ekonomi negara, di samping sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar melalui produk ekopelancongan dan inap desa. Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pelancongan yang terus kompetitif dan lestari, Beta menyeru rakyat bersama-sama memainkan peranan dalam membudayakan sikap cintakan kebersihan dan keindahan alam sekitar melalui kempen 1Malaysia Green 1Malaysia Clean. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta mengalu-alukan pengisytiharan tahun 2012 sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi sehingga ke peringkat akar umbi bagi menekankan kepentingan penguasaan bidang-bidang tersebut untuk melonjakkan Malaysia ke tahap negara maju berpendapatan tinggi. Aplikasi dan pembangunan teknologi hijau telah dikenal pasti sebagai sumber baru kekayaan negara. Sehubungan ini, Pelan Induk Teknologi Hijau sedang dilaksanakan sebagai mekanisme memacu transformasi ekonomi rendah karbon. Pelan tersebut juga menjadi panduan kepada sektor-sektor berkepentingan termasuk tenaga, air dan
pengurusan sisa pepejal ke arah meningkatkan pembangunan teknologi hijau, memelihara alam sekitar dan mengurangkan pembaziran sumber-sumber asli yang terhad. Malaysia juga perlu berusaha mencipta kekayaan baru daripada sumber biodiversiti melalui peningkatan industri bio-ekonomi dan aktiviti ekopelancongan. Dalam memelihara khazanah warisan, kelestarian biodiversiti harus menjadi agenda perdana dalam perancangan dan pembangunan negara demi memastikan khazanah ini terus dinikmati oleh generasi akan datang. Kerajaan Beta juga akan terus memberi tumpuan kepada sektor perladangan dan komoditi yang merupakan penyumbang besar kepada pembangunan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat luar bandar. Justeru, program penanaman semula dan tanaman baru bagi komoditi sawit dan getah akan dipergiatkan terutamanya di Sabah dan Sarawak. Bagi sektor pertanian pula, strategi akan terus dilaksanakan untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat kepada pengguna. Kerajaan juga akan terus memastikan industri agromakanan dapat mempertingkatkan sumbangan pendapatan melalui penekanan kepada industri yang berpotensi dan bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan eksport kepada negara. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Adalah menjadi hasrat Kerajaan Beta agar manfaat kemakmuran ekonomi hasil daripada Dasar Transformasi Nasional akan melimpah kepada semua lapisan rakyat tanpa ada yang terpinggir. Kerajaan Beta telah memperkenalkan dasar-dasar dan program- program yang berkaitan transformasi luar bandar yang menggariskan pendekatan strategik bagi membuka ruang dan kaedah baru meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar termasuk Orang Asli dan etnik minoriti di Sabah dan Sarawak. Antara pendekatan ini adalah pewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar, yang pertama di Gopeng, Perak sebagai pusat integrasi perkhidmatan. Selain daripada itu, FELDA turut melaksanakan program meningkatkan lagi taraf sosioekonomi generasi kedua dan ketiga peneroka. Bagi rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak pula kehidupan yang lebih selesa akan lebih terjamin dengan tumpuan utama Kerajaan untuk meningkatkan tahap infrastruktur luar bandar seperti bekalan elektrik yang mapan, bekalan air bersih, hubungan komunikasi dan jalan raya yang sempurna. Dalam menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi, mewujudkan masyarakat yang progresif dan inklusif menjadi teras utama Kerajaan Beta. Justeru, kesejahteraan dan kebajikan segenap lapisan masyarakat meliputi golongan wanita, warga emas, kanak-kanak, remaja, orang kurang upaya dan sebagainya menjadi keutamaan. Bantuan kebajikan Kerajaan dijenamakan semula sebagai Kebajikan Rakyat 1Malaysia yang lebih holistik. Di bawah program ini, lima ratus ribu orang warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak dan mereka yang memerlukan akan mendapat manfaat yang melibatkan satu peruntukan kewangan yang besar. Menyedari keperluan perumahan untuk rakyat, Kerajaan Beta telah menggubal Dasar Perumahan Negara dengan matlamat menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa dan mampu dimiliki oleh rakyat. Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat, Program Perumahan Awam, Program Bantuan Rumah serta Program Rumah Mesra Rakyat, di samping melaksanakan pelbagai program baru seperti Skim Rumah Pertamaku dan Perumahan Rakyat 1Malaysia. Pada tahun 2012, Kerajaan akan terus menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik kepada rakyat termasuk golongan warga emas dan orang kurang upaya serta yang kurang berkemampuan. Ini termasuk pembinaan terminal bas baru serta menaik taraf terminal bas sedia ada, tambahan tren baru enam gerabak dan sebagainya. Selain itu, Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan interim bagi memastikan perkhidmatan bas berhenti-henti terus dapat dinikmati oleh rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kemajuan bangsa dan negara tidak bermakna jika diukur dari sudut pembangunan fizikal semata-mata tetapi ia perlu seiring dengan pembangunan modal insan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Beta telah mengorak langkah dengan menyediakan pendidikan percuma untuk membolehkan setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang dan taraf sosioekonomi, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. Langkah ini bermula dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak melalui pelbagai program yang telah diusahakan. Langkah-langkah penambahbaikan telah dilaksanakan di peringkat persekolahan seperti transformasi kurikulum dan pentaksiran bagi melahirkan modal insan yang seimbang, berilmu pengetahuan, berkemahiran, kreatif, inovatif, berketerampilan dan berakhlak mulia. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara pula sedang dilaksanakan yang antara lain memberi penekanan terhadap peningkatan akses kepada pengajian tinggi terutama bagi program pascasiswazah, meligatkan penyelidikan dan pembangunan ke arah keberhasilan inovasi dan pengkomersialan serta menggalakkan pembelajaran berterusan bagi semua lapisan masyarakat. Kerajaan Beta sedang membangunkan satu kerangka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional peringkat nasional serta hala tuju pelaksanaannya yang melibatkan sinergi antara Jaringan Universiti Teknikal Malaysia, politeknik dan kolej komuniti sebagai usaha menambah bekalan modal insan berkemahiran. Lebih kurang empat puluh enam peratus daripada penduduk negara ini terdiri daripada golongan belia yang merupakan aset penting dan pewaris untuk meneruskan kesinambungan pembangunan negara. Justeru, Kerajaan Beta akan terus memperkasakan program-program bina upaya untuk membentuk generasi belia berintegriti, mapan, unggul, serta kental jiwa dan semangatnya. Menyedari aspirasi serta harapan belia untuk negara, Kerajaan telah bergerak untuk memenuhi hasrat tersebut di mana ia bukan sahaja melibatkan program-program pembangunan belia, malah transformasi sosiopolitik dan ekonomi demi membentuk masa hadapan yang lebih cerah. Yakinlah bahawa belia senantiasa dekat di hati Kerajaan Beta dan Kerajaan tidak akan menyisihkan golongan belia kerana tanpa belia, hilanglah jantung negara. Justeru, Beta percaya belia akan bersama-sama memecah keringat dan berganding bahu dengan Kerajaan untuk melakukan perubahan demi memastikan segala impian masa muka terlaksana. Kepada para belia, gunakanlah segala ruang dan peluang yang ada dengan bijaksana, bak kata pepatah, kalau tinggi di angkasa jadilah garuda, kalau jatuh ke laut jadilah pulau. Wanita adalah bak mutiara yang tidak ternilai sumbangannya bukan sahaja kepada keluarga dan masyarakat, malah kepada negara. Beta berbangga penyertaan kaum wanita dalam pelbagai sektor kini semakin terserlah dan diiktiraf di dalam dan luar negara. Untuk memastikan sumbangan kaum wanita dapat digembleng dengan lebih optimum, Kerajaan Beta telah melaksanakan pelbagai dasar, antaranya sekurang-kurangnya tiga puluh peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat, kesinambungan kepada inisiatif yang sama dalam sektor awam... [Tepuk] Kerajaan juga akan turut memulakan inisiatif untuk menarik lebih ramai wanita yang berkelayakan profesional kembali ke pasaran pekerjaan bagi mencapai sasaran penyertaan lima puluh lima peratus wanita dalam tenaga kerja pada tahun 2015. Beta percaya kaum wanita mampu menyahut cabaran dan meningkatkan potensi diri untuk memberi sumbangan lebih besar yang akan memancarkan sinar kecemerlangan masa depan negara. Beta turut berbangga dengan pelbagai usaha Kerajaan untuk terus meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan dan rawatan kesihatan yang berkualiti. Beta juga menyeru Kerajaan, badan-badan bukan Kerajaan dan sektor swasta supaya berganding bahu mencari pendekatan inovatif dan efektif untuk menggalakkan masyarakat membudayakan gaya hidup sihat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perjalanan menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 bukan sahaja memerlukan transformasi ekonomi, malah turut menuntut keseimbangan antara kepentingan individu dan kumpulan dengan kepentingan negara. Oleh itu, di bawah kepimpinan Kerajaan hari ini, pelbagai usaha transformasi sosiopolitik
telah dan sedang dilaksanakan yang antaranya termasuk penambahbaikan terhadap undang-undang dan peraturan, menambahbaikan sistem pilihan raya serta memastikan hak dan kebebasan asasi rakyat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan terjamin. Ini termasuklah memansuhkan akta-akta yang dianggap mengehadkan kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, di samping menggubal dan meminda undang-undang dan peraturan-peraturan untuk menjamin keselamatan negara serta mencegah keganasan dan ekstremisme. Semua usaha ini merupakan keputusan besar Kerajaan untuk memperkukuhkan kebebasan sivil dan melaksanakan transformasi politik. Beta amat berbangga dengan peranan aktif negara dalam mewujudkan keamanan global dengan mengetengahkan isu-isu perlucutan dan ketakcambahan senjata serta usaha-usaha bagi mencegah keganasan dan jenayah rentas sempadan. Pendekatan kesederhanaan atau wassatiyyah, hasil pemikiran Mamanda Perdana Menteri juga semakin mendapat penerimaan masyarakat global. Beta percaya konsep ini akan dapat menyumbang ke arah penyelesaian sesuatu pertikaian dan membawa kepada keamanan global termasuk dalam isu-isu hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa, misalnya di Palestin. Beta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada atlet negara yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2011... [Tepuk] Tahun ini merupakan tahun yang lebih mencabar kepada atlet-atlet negara berikutan penyertaan kontinjen negara dalam Sukan Olimpik London 2012. Semoga harapan rakyat untuk melihat Malaysia memperoleh pingat emas pertama di sukan tersebut akan tercapai. Beta menyeru para atlet agar memberi komitmen sepenuhnya bagi merealisasikan impian ini. Kerajaan Beta amat komited untuk melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman negara kerana ia adalah teras penting kepada sistem demokrasi. Usaha dan komitmen Kerajaan membanteras rasuah pula terbukti dengan penubuhan Suruhanjaya Integriti, Agensi Penguatkuasaan dan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, pengenalan Persepakatan Integriti serta peningkatan kadar sabitan kes rasuah sebanyak tujuh puluh lima peratus pada tahun 2011. Namun, Kerajaan masih memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjadikan negara bebas rasuah melalui inisiatif yang mencakupi aspek pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pada tahun ini negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia yang ke-49. Beta berharap semua pihak terutama generasi muda berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan negara yang merupakan hasil pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dan seterusnya menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang. Kukuhkanlah perpaduan dan elakkanlah daripada melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara ataupun cuba menidakkan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan... [Tepuk] Ke arah ini Beta mengharapkan para pemimpin di setiap peringkat, para cendekiawan, media massa dan badan bukan Kerajaan memainkan peranan yang lebih berkesan dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai kepentingan perpaduan nasional. Beta mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat jelata yang responsif kepada seruan Kerajaan serta bersama-sama memainkan peranan dalam agenda pembangunan demi melakar masa hadapan negara yang lebih cerah, malah sedia memahami niat jujur Kerajaan Beta untuk melakukan yang terbaik walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Beta menyeru agar rakyat terus memberi sokongan dan sumbangan untuk memastikan segala perancangan agenda pembangunan dapat direalisasikan. Beta juga menghargai sumbangan sektor swasta yang selama ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Beta berharap agar kerjasama pihak swasta dan Kerajaan terus dipertingkatkan pada masa hadapan. Beta merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Negara, Ahli-Ahli Dewan Rakyat, Perkhidmatan Awam, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan semua pihak yang telah bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
Beta mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia... [Tepuk] di atas kerjasama yang kreatif melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi mengurangkan indeks kadar jenayah dan memelihara ketenteraman awam tanpa melibatkan kos yang tinggi. Hasil usaha-usaha tersebut Indeks Keamanan Dunia telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara kesembilan belas paling aman di dunia dan kedua di Asia serta pertama di Asia Tenggara... [Tepuk] Pihak Projek Keadilan Sejagat pula mengiktiraf Malaysia sebagai negara paling selamat di kalangan sembilan belas negara berpendapatan sederhana... [Tepuk] Serta di kedudukan kedua belas negara paling selamat di dunia, mengatasi Amerika Syarikat dan Britain... [Tepuk] Namun, Kerajaan akan terus memberi keutamaan untuk menjadikan Malaysia negara yang aman dan damai. Beta juga merakamkan penghargaan kepada semua anggota agensi penguatkuasaan serta para veteran Angkatan Tentera Malaysia dan pesara Polis Diraja Malaysia... [Tepuk] di atas khidmat dan jasa memelihara keamanan, keselamatan dan kedaulatan undang-undang negara. Kepada semua rakyat, tumpahkanlah taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara dan sentiasa memelihara, melindungi serta mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta berpesan agar sentiasa menjaga kehormatan dan kemuliaan Dewan ini. Perbahasan hendaklah berlandaskan keikhlasan dan semangat untuk memajukan kehidupan rakyat. Semoga iltizam Ahli-Ahli Yang Berhormat akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada Dewan ini. Akhir kata, Beta dan Raja Permaisuri Agong sentiasa mendoakan agar negara kita terus dilimpahi rahmat dan nikmat yang berkekalan dari Allah Subhanahu Wataa’la. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh... [Tepuk].