Dewan Rakyat · 14 March 2018

15th Parliament, session 6, meeting 1 · 376 turns · 40,011 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

(Pembukaan)

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) mempengerusikan Mesyuarat]

Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions

Hasan bin MalekUMNO · BNKuala Pilah · question

1. Dato' Sri Hasan bin Malek [Kuala Pilah] minta Menteri Kewangan menyatakan, apakah kerajaan mempunyai perancangan bersama Bank Negara dan industri perbankan di Malaysia, dalam menghapuskan kenaan bayaran faedah di atas penggunaan kad kredit seperti yang mula dilaksanakan di United Kingdom.

Dato’ Wira Othman bin AzizUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan · Jerlun

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Kuala Pilah. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat peraturan yang dilaksanakan di United Kingdom, UK tidak perlu dilaksanakan di Malaysia kerana pelbagai langkah pencegahan telah pun diambil sejak tahun 2006 oleh Bank Negara Malaysia untuk mengelak pengguna kad kredit daripada menanggung hutang secara berterusan. Antara langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut; Pertama, pengeluar kad kredit harus memastikan hanya individu yang layak dan berkemampuan diberikan kemudahan kad kredit. Ini merangkumi keperluan minimum setahun dihadkan bilangan kad kredit yang boleh dimiliki oleh pemegang kad kredit yang berpendapatan RM36,000.00 setahun atau kurang. Had maksimum kredit larangan menawarkan kad kredit pra-kelulusan serta mekanisme bagi menangani masalah kewangan dengan cepat. Kedua, pengeluar kad kredit dilarang mengenakan faedah ke atas faedah tertunggak dan harus mengikuti urutan peruntukan bayaran balik yang telah ditetapkan bagi melindung pemegang kad kredit. Ketiga, institusi kewangan dikehendaki menimbangkan situasi pemegang kad kredit yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman akibat kesihatan, pengangguran atau sebab-sebab munasabah yang lain dan menawarkan pelan pembayaran balik alternatif yang sesuai dengan keadaan dan situasi kewangan pemegang kad kredit. Keempat, Program Pengurusan Kredit (PPK) oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membantu menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman untuk pemegang kad kredit melalui rundingan dengan institusi kewangan. Ini termasuk menstrukturkan semula pinjaman pemegang kad kredit serta mengurangkan atau menghapuskan faedah dan fi tertunggak. Sejak akhir Januari 2018, AKPK telah membantu seramai 158,116 orang pemegang kad kredit dengan jumlah baki tertunggak sebanyak RM6.5 bilion. Kelima, bagi golongan yang berpotensi diisytiharkan muflis pula mereka boleh mendapatkan bantuan perkiraan sukarela- Voluntary Arrangement untuk menyelesaikan hutang tanpa sebarang prosiding kebankrapan melalui perkhidmatan seorang penama (nominee).

Dato’ Wira Othman bin AzizUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan · Jerlun

AKPK yang dilantik oleh kerajaan sebagai nominee akan merangka pelan penyusunan semula hutang untuk pertimbangan para pemiutang bagi membolehkan penghutang berkenaan menyelesaikan pembayaran balik pembiayaan mereka dan mengelak daripada diisytiharkan muflis. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan juga telah mengambil inisiatif untuk menggubal sebuah Akta Kredit Pengguna untuk mengawal selia aktiviti pemberian kredit juga untuk mengukuhkan pelindungan bagi pengguna kredit termasuk pemegang kad kredit. Pendekatan mengurangkan atau menghapuskan bayaran faedah yang dikenakan ke atas kad kredit seperti yang dilaksanakan di UK, tidak semestinya membawa manfaat kepada ekonomi negara. Ia akan menggalakkan tabiat berbelanja tidak berhemah dan kurang berdisiplin di kalangan pemegang kad kredit. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

Dato' Sri Hasan Bin MalekUMNO · BNKuala Pilah

Terima kasih Yang Berhormat Menteri yang telah memberi jawapan yang begitu bermaklumat kepada saya dan juga perbezaan di antara negara kita dengan UK ya. Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini saya juga agak bimbang tentang tahap keberhutangan golongan muda di antara umur 40 tahun ke bawah dalam soal isu yang berkaitan dengan ini. Jadi, persoalan saya apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengenakan sebarang sekatan kelayakan kredit untuk golongan ini? Satu lagi pula ialah adakah pihak kerajaan bercadang untuk menghapuskan yuran kad kredit ini? Mohon jawapan, terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Kuala Pilah. Untuk Makluman Yang Berhormat pihak kita juga mempunyai program pengurusan hutang iaitu hutang-hutang yang melibatkan kad kredit, personal loan, housing loan dan sebagainya. Untuk makluman Yang Berhormat untuk strata yang berumur antara 30 tahun ke 50 tahun lebih kurang dalam 140 ribu orang yang telah pun mengambil bahagian dalam pengurusan tersebut. Seterusnya apakah langkah-langkah yang perlu kita ambil? Seperti yang saya maklumkan tadi, pelbagai langkah telah pun diambil termasuklah meletakkan minimum income setahun daripada dulu kelayakan RM18,000 dinaikkan menjadi RM24,000. Kemudian, pemegang kad kredit hanya boleh memegang dua kad daripada dua bank yang berbeza dan sebagainya. Namun, untuk jangka panjang kita adakan pelbagai program- program untuk memberi kesedaran dan juga pengajaran serta bimbingan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya dan khususnya kepada mereka yang berhutang. Antaranya termasuklah program pendidikan kewangan yang dibuat di peringkat sekolah lagi daripada darjah satu sampailah ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Kemudian kita juga memberi program jangkauan di mana kita turun ke bawah untuk memberi penerangan dan maklumat kepada masyarakat sama ada dalam penyertaan di peringkat karnival dan sebagainya. Kemudian seperti yang telah juga saya sebut, perkhidmatan pengurusan hutang iaitu agensi AKPK yang telah pun berusaha keras untuk membantu mereka-mereka yang terlibat. Contohnya sehingga Januari 2018 ini seramai 111,996 orang daripada 250,000 peminjam telah menyertai program PPK ini dan mereka adalah di kalangan anak-anak, mereka yang berumur 20 hingga 40 tahun. Kemudian, perkiraan sukarela pra muflis yang saya sebutkan juga iaitu voluntary arrangement, VA ini diberikan dengan AKPK mengambil peranan untuk membantu mereka- mereka yang terjebak dan yang mungkin tidak dapat keluar daripada kemelut tersebut dan yang untuk jangka panjang seterusnya adalah Strategi Nasional Literasi Kewangan ataupun FAN di mana kita bekerjasama dengan tujuh, lapan agensi kerajaan termasuk kementerian- kementerian untuk kita berikan maklumat secara daripada awal untuk kita jalankan Pelan Strategi Kebangsaan yang selari dengan aspirasi kerajaan untuk jangka panjang di bawah inisiatif kluster kewangan TN50 ataupun Transformasi Nasional 2050. Kita juga untuk makluman seperti yang disebut oleh tanya persoalan selanjutnya, adakah kita bercadang untuk menghapuskan faedah kepada pemegang kad kredit ini, untuk makluman, urusan bank ini, dia sebenarnya, dia mengambil deposit, dia membayar faedah kepada orang yang mendepositkan simpanan mereka dan dalam masa yang sama sudah tentu bank juga perlu mengenakan caj ataupun faedah kepada mereka yang meminjam.

Jadi inilah perniagaan bank, dia bagi, faedah ataupun keuntungan kepada mereka untuk galakan simpanan dan dalam masa yang sama duit itu juga digunakan untuk dipinjamkan pula kepada orang lain. Maka diperlukanlah kadar faedah tertentu yang saya kira antara yang paling menarik di dalam rantau kita lah. Sekian, terima kasih Tuan Yang di- Pertua.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, penggunaan kad kredit di kalangan masyarakat awam boleh juga menyumbang kepada masalah kewangan sebab penggunaan kad kredit mempunyai potensi seseorang itu berbelanja lebih. Jadi setakat pemantauan yang telah dibuat oleh pihak kementerian, berapa kes kah yang melibatkan muflis kerana muflis ini akibat daripada penggunaan kad kredit? Terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang yang bertanyakan soalan tambahan. Untuk makluman Yang Berhormat dan juga Dewan yang mulia ini, bilangan kad dalam edaran ketika ini sehingga akhir Disember 2017 adalah berjumlah 9.9 juta keping kad iaitu merangkumi 8.8 juta kad utama dan juga 1.1 juta kad tambahan ataupun supplementary card. Kemudian bilangan pemegang kad utama ketika ini sehingga Disember 2017 adalah 3.7 juta orang dan bilangan kes muflis akibat kad kredit seperti yang ditanya oleh Yang Berhormat sehingga Disember 2017 berjumlah 1,598 orang atau dari segi percentage-nya 0.04 peratus. Jadi saya ingat kadar ini terkawal dan pelbagai langkah yang telah saya sebutkan awal tadi telah diambil bagi memastikan yang penting, mereka yang layak untuk diberi hutang itu mampu membayar balik dan kalau mereka mampu bayar balik, maka credit limit pun akan ditambah. Ini adalah cara biasa dalam praktis, tetapi mereka yang terjebak, kita juga bantu untuk menyelesaikan kemelut mereka melalui agensi-agensi yang telah sedia ada. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Teo Nie ChingDAP · PHKulai · question

2. Puan Teo Nie Ching [Kulai] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan, tindakan yang telah diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini.

Dato’ Seri Jailani bin JohariUMNO · BNTimbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia · Hulu Terengganu

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam sehati sejiwa. Pertamanya terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Kulai yang menanyakan soalan. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya menjawab pertanyaan ini bersekali dengan tiga lagi pertanyaan daripada Yang Berhormat Bukit Katil pada 26 Mac, Yang Berhormat Parit Sulong pada 28 Mac dan Yang Berhormat Kota Tinggi pada 4 April kerana ia menyentuh isu yang sama iaitu perlindungan data peribadi. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Penting untuk saya sebutkan di sini bahawa pihak kerajaan sememangnya memandang serius isu ketirisan dan penyalahgunaan data peribadi. Susulan daripada beberapa kejadian yang telah berlaku baru-baru ini, pihak PDRM, SKMM Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan juga Jabatan Peguam Negara dengan koordinasi berpusat oleh Agensi Keselamatan Siber Negara ataupun, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, NAKSA telah bekerjasama dalam menjalankan siasatan di bawah seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997, dan seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Jadi, bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat, siasatan sebenarnya bagi kes- kes yang disebut oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sedang dan masih berjalan sehingga kini. Saksi-saksi yang telah dikenal pasti telah pun dipanggil keterangan oleh pihak PDRM bagi membantu siasatan dan insya-Allah setelah lengkap nanti, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih.

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya, saya rasa selain daripada mengambil tindakan terhadap mereka yang membocorkan data peribadi ini, saya rasa tindakan tegas perlulah juga diambil terhadap mereka yang salah guna data peribadi ini. Saya rasa sejak kebelakangan ini, kami banyak terima panggilan yang tidak dikehendaki ataupun mesej yang tidak dikehendaki, unsolicited calls or messages daripada pihak ketiga.

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

Saya sendiri sudah buat aduan kepada MCMC dan juga kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi sekurang-kurangnya sudah buat 20 kali, saya terima panggilan unsolicited daripada IDPO (KL), Rockwills, Hong Leong Bank dan saya juga terima lebih daripada 20 mesej yang tidak dikehendaki daripada Magnum dan saya telah buat aduan kepada MCMC, kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi. Akan tetapi nasihat daripada mereka adalah saya kena guna telefon sendiri untuk block nombor tersebut. Adakah itu tindakan yang mencukupi? Saya rasa sekarang semua nombor telefon itu ada daftar. Maksudnya kita tahu siapa adalah sender, siapa adalah caller, dan saya hendak tanya, selepas terima aduan daripada rakyat jelata, sama ada MCMC dan juga Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan ambil tindakan terhadap sender dan caller yang hantar unsolicited message tersebut. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Dato’ Seri Jailani bin JohariUMNO · BNHulu Terengganu

Terima kasih Yang Berhormat Kulai. Untuk makluman sebenarnya Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Kulai ini memang seorang yang aktif, selalu kita dapat terima aduan dan sebagainya dan untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, sebenarnya memang kita telah ambil tindakan dan sebagai contoh beberapa kes pendakwaan untuk tahun 2017 sahaja, tiga kes pendakwaan dan denda pun telah dikenakan, dan untuk tahun 2018 awal tahun pun kita dah ada lima kes. Jadi itu sebagai pembukaan ya. Sebenarnya bagi menjalankan siasatan untuk makluman Yang Berhormat ya, antara langkah-langkah yang kita ambil ialah kita menjalankan aktiviti penguatkuasaan seperti pemantauan berkala dengan mengadakan pemeriksaan sistem perlindungan data peribadi. Selain daripada itu, kita mengadakan program kesedaran melalui penganjuran seminar- seminar di seluruh negara selain membuat promosi dan publisiti. Di bawah JPDP pun standard perlindungan data peribadi dan enam tata amalan, code of practice sebenarnya memang ada. Saya percaya Yang Berhormat pun pernah lihat standard ini. Kalau tidak ada nanti saya kongsi dengan Yang Berhormat, di mana dinyatakan di bawah akta dalam memperkasa kerangka kawal selia perlindungan data peribadi telah pun diwujudkan. Pada masa yang sama, kod amalan am pengguna untuk industri komunikasi dan multimedia Malaysia turut menekankan aspek keselamatan data supaya penyedia perkhidmatan telekomunikasi dapat mengambil langkah untuk memastikan perlindungan kepada maklumat peribadi pengguna. Apa yang ingin saya tekankan di sini Yang Berhormat, sebenarnya apa jua aktiviti berkaitan dengan penipuan ataupun scam itu memang terjatuh di bawah SKMM. Akan tetapi apa jua aktiviti yang berkaitan dengan kecurian data peribadi dalam konteks komersial kerana Akta PDP ini berbentuk komersial, ia terjatuh di bawah JPDP.

Dato’ Seri Jailani bin JohariUMNO · BNHulu Terengganu

Jadi, masalah kita ini sebagai masyarakat, kita ini gemar berkongsi maklumat. Kadangkala kita tangkap gambar dan kita upload. Ini masalah kita. Jadi, sebenarnya untuk masyarakat dalam dunia perniagaan, dia melihat data ini merupakan satu komoditi. So, kalau kita fikir balik misalannya mengapa Facebook dia sanggup membeli WhatsApp. Saya difahamkan lebih kurang dalam USD19 bilion. So, dia bukan hanya kerana aplikasi tersebut tetapi kerana data. Jadi, apabila dia ada data tersebut dia boleh menggunakan sama ada untuk tujuan komersial ataupun tujuan sebagainya. Jadi, kita dapat lihat bahawa sebenarnya isu berkaitan data ini bukan hanya melibatkan kerajaan Malaysia tetapi di seluruh dunia. Akan tetapi, nasihat sayalah kepada pengguna, kalau boleh kita jangan simply kongsikan data kita dan kita hanya boleh kongsi apabila kita rasa kan patut kita kongsi. Kita dapat lihat baru-baru ini pun banyak isu berkaitan dengan terutamanya walaupun kita anggap tahun ini adalah Tahun Wanita. Jadi, saya ingin menasihatilah, Tuan Yang di-Pertua. Ini kerana kebanyakan wanita ramai terlibat dalam kerugian ataupun love scam. Isu-isu berkaitan ini. Ini kerana dia tertarik, Tuan Yang di-Pertua. Maknanya, kata-kata manis menyebabkan mereka terjebak dan bagi kata-kata laluan dan sebagainya maklumat peribadi. Jadi, itulah nasihat saya kepada pengguna di luar terutamanya wanita, termasuk Yang Berhormat. Terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih pada Yang Berhormat Menteri yang menjawab dengan begitu mendalam tadi. Sebenarnya saya rasa terpanggil pada pagi ini hendak tanya soalan tambahan. Ini kerana ini adalah bertepatan dengan kejadian baru-baru ini. Terima kasihlah kepada Yang Berhormat Kulai yang begitu prihatin, tanya soalan yang agak baik pada pagi ini. Akan tetapi, dalam konteks pembocoran maklumat ini yang boleh sampai ke arah fitnah dan itulah sebabnya saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri soalan berkaitan dengan pembocoran ini. Apakah langkah mitigasi yang telah diambil bagi mempertingkatkan lagi tahap keselamatan data peribadi pelanggan agar perkara sedemikian tidak berulang dan apakah atau sejauh manakah pelaksanaan kod tata amalan telah berjaya mewajibkan organisasi untuk mengurus data peribadi dengan lebih berhemah dan integriti yang cekap. Ini kerana kalau kita tengok berkaitan dengan integriti ini kita tengok pihak pembangkang pagi-pagi lagi bertanya soalan dengan Yang Berhormat Menteri macam beria- ria. Nombor dah bocor, orang ini kena ambil tindakan, padahal saya sendiri jadi mangsa bocor informasi dan menjadi fitnah yang dibawa oleh Yang Berhormat Bagan sendiri. Dia oranglah yang bawa. Jadi, hari ini dalam Parlimen, dalam Dewan yang mulia mereka akan memperjuangkan apa sahaja. Akan tetapi, cakap tidak serupa bikin. Di luar merekalah orang pertama menghasut, memfitnah, menuduh dan sebagainya. Terbukti jelas. Saya cabar Yang Berhormat Bagan minta maaf, tidak minta maaf. Hendak tegakkan benang yang basah. Saman tetap saman. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.

Dato’ Seri Jailani bin JohariUMNO · BNHulu Terengganu

Terima kasih Yang Berhormat Baling sahabat saya menanyakan soalan. Jadi, seperti yang saya maklumkan sebelum ini, Tuan Yang di-Pertua... [Disampuk] Dia kalau kita lihat daripada isu berkaitan dengan kebocoran data peribadi, jelas bahawa walaupun benda itu dalam siasatan tetapi di pihak kita, kita membantu. Misalannya kita telah memanggil pihak telcos dari segi memperkasakan sistem, keluarkan garis panduan dan untuk makluman sahabat saya, memang kita ada keluarkan garis panduan untuk berwaspada dalam talian. Antaranya, walaupun baru-baru ini ada sahabat kita dari sebelah sana komen apabila saya mengatakan bahawa kita kena sering kali tukar kita punya kata-kata laluan. Kalau dia orang tidak mahu terima tidak apa sahabat. Akan tetapi, maknanya kita. Ini kerana kita ada lebih kurang 30 juta pengguna di luar sana yang harus diberi penerangan tentang bahawa kita harus had kan perkongsian maklumat data, sedar akan status sosial kita, tukar kata-kata laluan dan yang paling penting kerana kita ini gemar menggunakan perkhidmatan kita di luar terutamanya free WiFi. Kadangkala apabila kita gunakan free WiFi ini dan kita terlupa untuk menukar kata laluan. Ini yang menyebabkan data-data kita tercuri dan sebagainya. Akan tetapi, di pihak kita walaupun benda ini ada kita masih meneruskan program kesedaran. Seperti mana persoalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Baling, bahawa dari segi standard yang kita keluarkan ini, kita selain daripada memberi penerangan tetapi kita tekankan kepada masyarakat di luar sana kalau boleh kita sudah keluarkan satu hashtag iaitu #jomambilpeduli dan #jagadataanda. Jadi, ini penting. Di sebelah sana memanglah Yang Berhormat. Maknanya apa jua yang kita rasakan betul tetapi sering disensasikan dan dinyatakan benda itu tidak betul. Akan tetapi, sedangkan pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan kita haraplah kerjasama daripada semua pihak bahawa apa jua langkah yang diadakan oleh pihak kerajaan ialah terutamanya dalam zaman sekarang apabila kita lihat betapa pentingnya big data. Ini yang menjadi persoalan utama di Malaysia ini. Terima kasih.

Rubiah binti WangPBB · GPSKota Samarahan · question

3. Puan Rubiah Binti Haji Wang [Kota Samarahan] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan, apakah strategi bagi memastikan sektor e- commerce negara ini terus berkembang dan sejauh mana prestasi terkini sehingga kini.

Datuk Seri Ahmad bin Haji MaslanUMNO · BNTimbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri · Pontian

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, dan salam negaraKu 1Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kota Samarahan. Sektor e-dagang telah mencatat pertumbuhan yang ketara kebelakangan ini dari segi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sumbangan e-dagang kepada KDNK telah meningkat kepada 6.1 peratus iaitu 74.6 bilion pada tahun 2016 berbanding 5.9 peratus atau 68.3 bilion pada tahun sebelumnya. Bagi memastikan sektor e-dagang atau e-commerce terus berkembang, kerajaan telah melaksanakan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan, dengan izin, National e- Commerce Strategic Roadmap (NESR) sejak bulan Oktober 2016. Pelan hala tuju ini telah menetapkan sasaran untuk menggandakan kadar pertubuhan ekonomi e-dagang di Malaysia daripada 10.8 peratus pada tahun 2016 kepada 20.8 peratus menjelang 2020. Kadar pertumbuhan ini akan menyumbang lebih 211 bilion nilai KDNK berbanding sasaran awal yang telah ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 sebanyak 114 bilion. Pelan hala tuju ini tertumpu pada enam teras utama iaitu: (i) mempercepatkan tahap aplikasi e-dagang; (ii) meningkatkan penggunaan e-perolehan di kalangan komuniti perniagaan; (iii) menghapuskan halangan bukan tarif bagi aktiviti e-dagang rentas sempadan, e-pembayaran dan perlindungan pengguna; (iv) menyelaraskan insentif ekonomi semasa; (v) pelaburan strategik di dalam syarikat-syarikat e-dagang tempatan; dan (vi) mempromosikan jenama negara bagi meningkatkan transaksi e-dagang rentas sempadan. Pelaksanaan pelan hala tuju ini dipantau oleh Majlis e-Dagang Kebangsaan yang dipengerusikan oleh MITI. Manakala Sekretariat NECC diterajui secara bersama oleh MITI dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan: (i) pelancaran platform Go eCommerce pada 26 Julai 2017; (ii) pelbagai program bimbangan dan latihan kepada PKS tempatan dengan usaha sama Ali Baba, Lazada, 11th Street, Google; (iii) kerjasama antara MATRADE dengan e-Market place tersohor seperti Trade India, Dagang Halal, AladdinStreet, Amazon, eBay, Ali Baba, Q10, Directdotcom, MatahariMall, JDdotcom, Timor Global dan skim e-trade; (iv) penganjuran inisiatif seperti program mengupayakan ebayaran untuk PKS dan perusahaan mikro serta MyCyber Sale, eUsahawan, eRezeki bersama dengan MDEC dan SME Corp; (v) penganjuran forum digital pada 8 Februari 2018 yang dihadiri oleh 2,500 peserta; (vi) inisiatif menggalakkan aktiviti berkaitan dengan cashless society, dengan izin yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia; dan

Datuk Seri Ahmad bin Haji MaslanUMNO · BNTimbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri · Pontian

(vii) pelancaran projek perintis Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada 3 November 2017 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi meningkatkan penglibatan PKS tempatan dan transaksi e-dagang di peringkat global. Sejak projek perintis ini dilaksanakan 2,072 PKS tempatan telah pun berdaftar untuk mengeksport produk mereka menerusi platform alibabadotcom. Terima kasih.

Puan Rubiah binti Haji WangPBB · GPSKota Samarahan

Terima kasih atas jawapan yang begitu detil sekali. Tahniah kita ucapkan kepada kerajaan dalam membantu usahawan- usahawan khususnya dalam bidang e-commerce. Soalan tambahan saya, sejauh manakah kerjasama dengan pemain industri luar seperti Ali Baba Group mampu meningkatkan penyertaan dan sekali gus membuka pasaran e-dagang yang lebih luas untuk PKS tempatan. Bagaimanakah kerjasama strategik dapat membantu usahawan luar bandar untuk bergiat terus dalam bidang ataupun sektor e-dagang? Terima kasih.

Terima kasih. Baru-baru ini dikeluarkan senarai manusia paling kaya di dunia Tuan Yang di-Pertua. Yang paling kaya di dunia ini namanya Jeff Bezos. Jumlah hartanya USD112 bilion. Beliau adalah CEO Amazon.com. Amazon.com ini tentunya e-dagang, satu platform raksasa antarabangsa. Kalau kita selalu dengar Jack Ma. Jack Ma ini orang nombor dua terkaya di negara China. Hartanya USD39 bilion dan dia adalah pemilik kepada AliBaba.com. Dengan lain perkataan, e-dagang ataupun e-commerce ini adalah punca kekayaan baru yang sudah lama orang lain buat tetapi baru di negara kita. Oleh kerana itu, menjawab soalan Yang Berhormat Kota Samarahan, memang kita sedar tentang perkara ini. Itu sebab kita sentiasa berurusan dengan pihak-pihak peringkat yang tersohor, peringkat antarabangsa ini supaya mereka boleh membantu kita dalam pelbagai bidang. Seperti contohnya, bantuan dan sokongan teknikal bersama Facebook. Ada program tertentu yang kita buat di Malaysia, dengan Google juga ada program-program tertentu yang kita buat di Malaysia sehingga ke peringkat akar umbi dan juga masyarakat di luar bandar. Memang kita sangka soalan ini yang tentang luar bandar ini. Apa yang kita buat sekarang ini ialah e-Usahawan misalnya, Program e-Usahawan, e-Rezeki, e-Ladang. Dalam Bajet 2018, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta untuk memperluas tiga program ini, e-Rezeki, e-Usahawan, e-Ladang. Berapa ramai usahawan muda dan usahawan desa terlibat dalam tiga program ini? 156,580 usahawan muda dan usahawan desa terlibat. Bererti, e-commerce ini bukan hanya untuk orang-orang di bandar tetapi juga untuk anak muda dan masyarakat di desa. Daripada jumlah itu, 44,466 usahawan ataupun 28 peratus daripada peserta yang kita latih itu telah terlibat dalam perdagangan online ini. Terima kasih.

Che Rosli bin Che MatPAS · PRHulu Langat · question

4. Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan, kawalan kementerian dalam memastikan bukit-bukau di Malaysia sebagai pasak bumi ini dijaga dan tidak mudah diterokai bagi menjamin kestabilan cuaca dan kelangsungan kehidupan flora dan fauna.

Datuk Ir. Dr. Haji Hamim bin SamuriUMNO · BNTimbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar · Ledang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengamalkan pengurusan hutan secara berkekalan bagi memenuhi keperluan yang dikehendaki di dalam Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification. Di dalamnya tersebut sebarang pembangunan dan pembalakan di kawasan yang melebih 1,000 meter adalah tidak dibenarkan.

Datuk Ir. Dr. Haji Hamim bin SamuriUMNO · BNTimbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar · Ledang

Maknanya, 1,000 meter daripada paras laut tidak dibenarkan apa-apa pembangunan ataupun penerokaan, itu jelas. Manakala, antara aktiviti yang tertakluk pada penyediaan Laporan EIA ialah pengubahan kawasan hutan melebih 20 hektar kepada kawasan pertanian, pembalakan melebihi 100 hektar, pembangunan kawasan pantai dan bukit dan serta pembangunan kawasan cerun dan aktiviti-aktiviti di atas merupakan aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015. Jabatan Alam Sekitar juga telah mengeluarkan garis panduan pembangunan di kawasan cerun dan bukit yang telah dilancarkan pada 8 November 2017 untuk memastikan pembangunan yang melibatkan kawasan cerun dan bukit mematuhi semua kehendak iaitu kehendak alam sekitar dan memastikan impak pembangunan diminimumkan. Antara inisiatif yang telah diambil oleh JPSM dalam memastikan kawalan terhadap hutan simpanan kekal adalah pertama, program penguatkuasaan bersepadu. Kedua, memperkukuhkan program penguatkuasaan melalui inisiatif strategi lautan biru, memperkukuh aktiviti perisikan. Ini yang melibatkan penerokaan kawasan hutan yang ada kaitan rapat dengan penerokaan yang melibatkan kesan kepada kawasan bukit-bakau yang sensitif tersebut. Sekian, terima kasih.

Dr. Che Rosli bin Che MatPAS · PRHulu Langat

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya sebenarnya merasa agak risau kerana terlalu banyak bukit-bukau dan termasuklah di atasnya hutan yang memberi kesan kepada cuaca kita, climate kita dan juga kepupusan flora dan fauna. Itu yang saya bimbang sangat. Jadi, persoalan saya, tidakkah kementerian mempunyai kuasa untuk memastikan segala aktiviti kuari ataupun pembangunan di lereng bukit ini diberi perhatian yang serius? Bukan sahaja mungkin Menteri menjawab itu urusan negeri tetapi saya kira kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar mungkin ada kuasa untuk memastikan bahawa aktiviti kuari ini jangan keterlaluan hingga menyebabkan habis bukit digondol. Begitu juga, bukan sahaja bukit tetapi oleh kerana bukit ini ada akar ke bumi, itu pun di ambil. Ada yang berlaku, kalau saya boleh tunjuk contoh di tempat sayalah. Kuari di bawah perut bumi, maknanya daripada atas sampai ke bawah. Jadi, tidakkah ini memberi kesan kepada bumi kita yang stabil dengan gunung tetapi akhirnya bergoyang dan menyebabkan tanah runtuh dan sebagainya. Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat. Kita sangat bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat. Kalau kita merujuk kepada Al- Quran pun, contoh Surah An-Naba yang menyebut, “Bukankah kami telah menyediakan bumi itu sebagai hamparan dan gunung-ganang sebagai pasak”. Dalam Al-Quran ada 49 ayat menyebut tentang gunung-ganang dan daripada 49 ayat, 22 ayat menyebut tentang pasak bumi. Maknanya, sangat serius. Saya sebut tadi bagi pembangunan yang melibatkan lereng bukit yang sensitif, ada garis panduannya iaitu Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi. Di peringkat kementerian, Jabatan Alam Sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling jelas menyebut di situ tentang kaedah-kaedah yang tertentu, termasuk keperluan EIA tentang garis panduan bagaimana sesuatu kawasan bukit-bukau atau lereng itu patut diurus dan sebagainya. Ada sebut, dengan izin, do’s and don’ts dan sebagainya. Akan tetapi apabila Yang Berhormat menyebut tentang kuasa, sebab itulah pihak kementerian sedang memperjuangkan beberapa akta baru sama ada di peringkat Jabatan Alam Sekitar ataupun Akta Perhutanan Negara 1984 yang perlu ditingkatkan. Bukan sahaja dari segi hukuman dan penalti tetapi dari segi lain-lain yang kita ada kuasa tertentu kerana ini melibatkan kerajaan-kerajaan negeri. Perkara ini sebenarnya selalu dibincangkan dalam Majlis Tanah Negara. Di situlah penyelarasan perlu dibuat dan kita menyeru semua pihak, kerajaan-kerajaan negeri dan sebagainya supaya mengikut garis panduan yang telah pun diperkenalkan. Kalau semua pihak akur, patuh, ikut peraturan yang telah keluarkan. Saya percaya perkara tersebut tidak timbul. Sekian, terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan yang paling penting dan jawapan juga agak jelas. Selain daripada itu, kita sudah melihat pun perkara-perkara yang berlaku di negara kita, terutama sekali kawasan-kawasan di bukit-bukit bukau dan juga di lereng-lereng bukit.

Bukan sahaja projek swasta tetapi projek kerajaan juga yang telah mencemarkan dan mengakibatkan erosion ataupun hakisan daripada lereng-lereng bukit. Ini menyebabkan pencemaran air dari atas sampilah ke sungai dan spesies-spesies yang ikan di sungai ini akan terhapus. Soalan saya, apakah tindakan kerajaan? Berapa pesalah-pesalah ini diheret ke mahkamah? Walaupun saya faham ada pihak berkuasa kerajaan negeri dan juga Persekutuan tetapi apakah kolaborasi soal mengambil tindakan ke atas pesalah-pesalah ini? Menteri Pertanian bersetuju dengan saya sebab banyak yang kawasan pertanian itu juga diterokai dengan secara haram. Setuju Menteri Pertanian?... [Ketawa]

Terima kasih Yang Berhormat Putatan. Ada dua perkara. Pertamanya adalah dari segi penguatkuasaan. Dari segi penguatkuasaan, kita berdasarkan kepada akta yang disokong oleh garis panduan sedia ada dan akta yang sedia ada perlu ditingkatkan dan dinaiktarafkan dan sebagainya. Akan tetapi dari segi tindakan untuk pemulihan, saya ambil satu contoh sahaja, contoh yang sangat jelas, iaitu contoh kes penerokaan yang berlaku di kawasan Tanah Tinggi Cameron Highland. Kawasan terlibat adalah 570 hektar yang telah diterokai untuk tujuan pertanian. Ini contoh. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah diamanahkan untuk melaksanakan program resolusi dengan menanam semula pokok spesies hutan tanah tinggi seperti Meranti Bukit dan beberapa spesies lain. Setakat ini, JPSM telah berjaya memulihkan 150 hektar, maknanya hampir separuh kawasan terjejas tersebut, dan pelaksanaan ini adalah berterusan sehingga semua kawasan terjejas akibat pencerobohan dipulihkan sepenuhnya. Ini yang berlaku di Cameron Highland dan, insya-Allah, di tempat-tempat lain. Kalau kita hendak merujuk semula tentang jadual kes pembalakan haram, jumlah tangkapan kompaun itu banyak. Contohnya tahun 2016, jumlah kes pembalakan haram dan sebagainya termasuk jumlah tangkapan kompaun- ini jelas. Dalam hutan simpanan kekal, tahun 2016, sebanyak 10 kes, dalam tanah kerajaan satu kes. Jumlah tangkapan tiga kes, jumlah kompaun dan ganti rugi RM0.4 juta. Ini maknanya tindakan itu ada, pengawasan itu ada. Jadi jelas kita sangat serius. Akan tetapi kita faham tidak semua kita boleh pantau 100 peratus. Oleh sebab itulah kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Di antara tawaran kita telah terima ialah kerjasama bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui Pasukan Sukarelawan Renjer Hutan APM yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Maknanya sampai ke tahap tersebut yang terpaksa kita lakukan. Ini semua adalah tindakan- tindakan yang berasakan kepada N-BOS tadi. Sekian, terima kasih.

Ahmad bin HamzahUMNO · BNJasin · question

5. Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah [Jasin] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan tahap kemajuan BCC dalam tempoh lapan tahun yang lalu berbanding komuniti Cina.

Datuk Seri Ahmad bin Haji MaslanUMNO · BNTimbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri · Pontian

Tuan Yang di-Pertua, saya dua kali hari ini. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)

Ya, tahniah...

[Dewan ketawa]

Saya bukan diminta. Diatur begitu. Sebab rasanya Yang Berhormat Menteri MITI semalam datang tetapi yang bertanya tidak datang.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)

Ya.

Jadi dapat dua kali ini. Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, atau dengan izin, Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC) telah diwujudkan pada tahun 2006 selaras dengan hasrat yang dinyatakan dalam Wawasan 2020 iaitu perlunya diwujudkan masyarakat bumiputera yang berdaya tahan dan berdaya saing setaraf dengan masyarakat bukan bumiputera. Melalui Pelan Induk Perindustrian Ke-3 (IMP3) yang telah diperkenalkan pada tahun 2006, kementerian ini telah menyasarkan untuk menggalakkan BCIC dengan mengenal pasti sumber pertumbuhan baru dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, meningkatkan pembangunan modal insan bumiputera dan meningkatkan pertumbuhan dan menambah pemilikan BCIC melalui pembangunan enterprise kecil dan sederhana, PKS dan EKS. Di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) yang telah dilancarkan pada tahun 2016, BCIC telah ditambah baik melalui agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB). Agenda PEB ini bertujuan untuk mewujudkan Komuniti Ekonomi Bumiputera dengan berpaksikan lima teras utama iaitu: (i) mendaya modal insan; (ii) meningkat pemilikan ekuiti korporat; (iii) mengukuhkan pemilikan aset bukan kewangan; (iv) memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan; dan (v) memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan. Jika sebelum ini hanya sebuah kementerian sahaja yang bertanggungjawab yang melaksanakan agenda PEB, mulai tahun 2014, peranan ini diletakkan kepada semua kementerian, agensi-agensi kerajaan, syarikat pelaburan dan syarikat berkaitan kerajaan, GLIC dan GLC, koridor ekonomi dan kerajaan negeri. KPI bumiputera kini menjadi sebahagian daripada KPI Menteri dan ketua setiausaha semua kementerian, ketua-ketua jabatan dan ketua pegawai eksekutif semua GLIC dan GLC. Ia dipantau secara berterusan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri melalui Majlis Ekonomi Bumiputera yang bermesyuarat tiap-tiap bulan dan diurus setia oleh Unit Perancangan Ekonomi (UPE) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Jabatan Perdana Menteri. Angka-angka yang ada di tangan saya untuk perbandingan kemajuan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera ini melalui banci, survey atau census tahun 2016 bulan Disember. Jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan SME di negara kita ini ialah 907,065 entiti perniagaan. Daripada 907,065 itu, jumlah bumiputera ialah 354,699 atau 39.1 peratus bumiputera. Bukan bumiputera pula seramai 552,402 atau 60.9 peratus. Adakah angka ini meningkat? Banci tahun 2005, sebanyak 35 peratus bumiputera, tahun 2011 sebanyak 37 peratus bumiputera dan Disember 2016 sebanyak 39.1 peratus bumiputera. Terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri yang telah berikan penjelasan. Jadi yang pertamanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Barisan Nasional yang telah berjaya mewujudkan serta terus mengembangkan golongan BCIC. Golongan ini sangat penting bagi kita. Sejak tahun 1971, melalui tindakan affirmative- dan tindakan ini sebenarnya dengan satu model yang dipanggil ethnic bypass. Malangnya, ia telah mengakibatkan satu polarisasi ekonomi yang berasaskan kaum. Jadi saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah sebenarnya tindakan yang dibuat ataupun yang akan dibuat oleh kerajaan dalam perkukuhkan BCIC ini supaya ianya dapat terus berganjak ke arah, dengan izin, ethnic inclusiveness paradigm? Dengan ini, kita dapat mewujudkan satu mutual trust dan dapat mewujudkan satu perniagaan yang lebih harmoni antara kaum. Lebih penting sekali kita mahu melihat supaya kita dapat menyatukan BCIC ini ke arah yang pertamanya, dengan izin, national, regional dan juga international supply chain. Terima kasih.

Istilah-istilah Yang Berhormat Jasin ini tinggi. Terima kasih Yang Berhormat Yasin. Saya cuba memahami istilah-istilah yang tinggi itu. Antara yang disebut oleh Yang Berhormat Jasin ialah, dengan izin, ethnic inclusiveness paradigm. Wah, orang kampung tidak berapa faham lah itu ya [Ketawa] Saya cuba menterjemahkan apa bendanya. Paradigma keterangkuman etnik. Pun tidak faham jugalah. Akan tetapi apa pun, maksudnya ialah supaya segala usaha kita ini menjadikan agenda bumiputera sebagai agenda nasional di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib, ia adalah untuk tidak menyisihkan anggota masyarakat yang terbesar dalam negara.

Bumiputera adalah 68 peratus daripada penduduk dalam negara dan pemilikan entiti perniagaan baru 39.1 peratus. Sebanyak 68 peratus entiti penduduk tetapi entiti perniagaan 39.1 peratus. Oleh sebab itu, keterangkumannya tidak kelihatan di situ. Jadi, apa yang kita lakukan ialah mewujudkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera di Jabatan Perdana Menteri. Ada pihak-pihak di luar sana yang bertanya kenapa Kementerian Pembangunan Usahawan dimansuhkan, bukankah itu sebenarnya akan sepatutnya mewujudkan generasi usahawan ataupun bangsa usahawan di kalangan bumiputera, kenapa dimansuhkan? Jawapannya ialah di bawah Yang Amat Berhormat Pekan sekarang ini bukan hanya satu kementerian yang membina usahawan bumiputera. Kita telah meletakkan Bahagian Pembangunan Usahawan Bumiputera ini di semua kementerian, Tuan Yang di-Pertua. Jika dahulu cuma ada satu kementerian yang menjaga keusahawanan bumiputera, sekarang ini 24, 25 kementerian yang menjaga. Bahagian Pembangunan Usahawan Bumiputera ini diketuai oleh timbalan ketua setiausaha kementerian-kementerian yang berkaitan. Ia adalah merupakan satu usaha yang penting. Cuma saya harap sebagaimana menjawab Yang Berhormat Jasin, Bahagian Pembangunan Usahawan Bumiputera kementerian-kementerian ini supaya mereka lebih proaktif dan bukan menunggu usahawan datang ke kementerian mereka baru hendak menyatakan ada dana itu, ada dana ini. Dia perlu keluar ke lapangan dan berjumpa dengan rakyat terbanyak di luar bandar, di desa dan juga di kota. Semoga membina bangsa usahawan ini adalah satu kerja utama mereka. Sebanyak RM14.44 bilion pelaburan swasta bumiputera yang telah terkumpul. Ini datu lagi angka-angka yang saya ingin kongsikan. Sebanyak RM10.1 bilion nilai dicipta selepas penyenaraian Skim Jejak Jaya Bumiputera. Sebanyak 13 syarikat bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia dan angka satu lagi ialah sehingga Januari 2018 ini, sebanyak RM124.6 bilion nilai keseluruhan limpahan ekonomi bumiputera meliputi pelbagai program pembiayaan dan modal insan yang telah terkumpul setakat ini. Walaupun begitu, angka-angkanya nampak bunyi besar tetapi saya ingin memaklumkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, daripada 39.1 peratus entiti perniagaan bumiputera, 354,699 buah syarikat entiti perniagaan ini, sebanyak 88 peratus entiti perniagaan bumiputera ini adalah bertaraf mikro. Apakah maksud mikro? Syarikat-syarikat bumiputera ada lima pekerja dan ke bawah dan pendapatan mereka setahun tidak lebih daripada RM300,000 jualan. Jadi, ada banyak lagi kerja untuk kita melaksanakan pembangunan BCIC ataupun Komuniti Ekonomi Bumiputera. Sekarang ini BCIC/MPBB ini dikenali sebagai Komuniti Ekonomi Bumiputera. Terima kasih.

Zairil Khir JohariDAP · PRBukit Bendera · question

6. Tuan Zairil Khir Johari [Bukit Bendera] minta Menteri Pendidikan menyatakan, mengapa buku teks Bahasa Inggeris KSSR dan KSSM yang diperolehi untuk Tahun 1 dan Tingkatan 1 bagi tahun 2017 telah digantikan pada pertengahan tahun dengan buku teks import.

Datuk Chong Sin WoonTimbalan Menteri Pendidikan

Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan Malaysia ingin menegaskan bahawa buku teks Bahasa Inggeris Tahun 1, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan buku teks Bahasa Inggeris Tingkatan 1 Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi tahun 2017 tidak diganti dengan buku teks baharu iaitu buku Super Minds 1 dan buku Pulse 2. Buku-buku tersebut diguna pakai bersama-sama dengan buku teks sedia ada. Buku Super Minds 1 dan Pulse 2 dibekalkan pada pertengahan tahun kerana perlu mengikut prosedur perolehan sedia ada. Terima kasih.

Tuan Zairil Khir JohariDAP · PRBukit Bendera

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan tadi. Akan tetapi saya merujuk kepada Pekeliling KPM sendiri yang bertarikh 12 September 2017 yang menyatakan bahawa buku teks KSSR dan KSSM hanya akan digunakan sebagai buku rujukan ataupun buku sampingan. Ini pada hemat saya telah berlaku satu pembaziran yang besar sebab sudah beli buku-buku teks tempatan yang bernilai dalam RM7 juta dan digantikan dengan buku teks import yang bernilai RM34 juta, lima kali ganda yakni menurut kepada jawapan Kementerian Pendidikan sendiri. Walaupun pun begitu, soalan tambahan saya adalah berkait dengan buku teks import tersebut. Menurut pekeliling yang sama, buku teks Super Minds dan Pulse 2 akan dipecahkan dan digunakan selama dua tahun iaitu untuk Tahun 1, Tahun 2, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Dalam erti kata lain, murid-murid akan belajar setengah buku teks dalam setahun. Apakah wajar buku yang sebenarnya direka bentuk untuk digunakan selama setahun digunakan pula untuk dua tahun? Pada pendapat Yang Berhormat Timbalan Menteri, adakah murid boleh benar-benar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kalau hanya belajar sebanyak empat, lima unit setahun? Terima kasih.

Terima kasih atas soalan tambahan. Sebenarnya telah banyak kali kita jawab dalam Dewan yang mulia ini berkenaan dengan penggunaan buku teks yang diimport untuk kita mendapatkan buku teks yang align, dengan izin, kepada CEFR iaitu Common European Framework of Reference for Languages di mana dalam pembangunan bahasa Inggeris kita, kita mempunyai roadmap dari tahun 2015 sehingga 2025. Dalam pelaksanaan kepada standard CEFR ini, kita perlu menggunakan buku teks yang sejajar dengan standard tersebut. Dalam penilaian bahasa Inggeris kita pun, kita sedang menggunakan framework CEFR tersebut. Akan tetapi dalam permulaan pelaksanaan CEFR dalam pasaran Malaysia, belum ada lagi buku teks yang boleh kita guna atau kita beli atau kita kena guna pakai di sekolah kita yang ada dalam pasaran tempatan. Oleh itu, dengan nasihat daripada pakar rujuk, kita telah mendapatkan senarai buku yang memadai standard CEFR tersebut dan itulah yang kita guna pakai. Dan pada masa yang sama, kita memerlukan masa transisinya supaya KPM boleh membuka tender dan sudah pun kita melakukan pembukaan tender pada tahun ini. Pada waktu kita bersidang sekarang ini pun jawatankuasa kita sedang bermesyuarat untuk kita memilih buku-buku ataupun syarikat-syarikat yang telah memberi tender untuk penggunaan buku teks CEFR yang mempunyai isi kandungan tempatan. Jadi semua itu memerlukan transisi dan buku tersebut yang diguna pakai untuk dua tahun tersebut adalah kerana penarafan CEFR itu bukanlah seperti penarafan kita sebelum ini. Ia mengikut standard A1, A2, B1, B2, C1, C2. Jadi untuk Tahun 1 dan Tahun 2, mereka dalam tahap A1 di mana buku CEFR yang kita guna pakai, yang kita import itu memang dalam standard A1. Oleh itu ia boleh diguna pakai bersama-sama dengan buku teks yang sedia ada. Terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya adalah bilakah kementerian bercadang penggunaan sepenuhnya e-book ataupun buku elektronik bagi pengajaran dan pembelajaran di sekolah memandangkan kita harus sederap dengan 4th Industrial Revolutions negara? Terima kasih.

Terima kasih atas soalan tambahan. Memang Kementerian Pendidikan Malaysia dalam proses membuat kajian. Kajian sedang dilakukan kepada beberapa buku teks untuk kita menjadikannya sebagai buku digital.

Bukanlah satu rocket science untuk menjadikannya dalam PDF file ataupun menjadikannya dalam digital file, dengan izin. Cuma dalam pelaksanaan tersebut nanti, kalau sepenuhnya kita letakkan digital textbooks tersebut, masalah yang timbul ialah bagaimana pelaksanaannya nanti, sama ada anak-anak kita perlu membawa teks mereka sendiri, gadget mereka sendiri atau perlu dibekalkan oleh kerajaan. Semua perkara-perkara tersebut perlu diambil kira termasuk kos pelaksanaan. Jadi walau bagaimanapun, kita sedang dalam proses memberikan syarikat untuk membuat percubaan menggunakan e-teks tersebut. Setelah kita membuat semua kajian dan kita akan mendapat keputusannya nanti, ia akan dimaklumkan kepada Dewan kemudian hari. Sekian, terima kasih.

Budiman bin Mohd ZohdiUMNO · BNSungai Besar · question

7. Tuan Budiman bin Mohd Zohdi [Sungai Besar] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan, sejauh manakah prestasi perniagaan di MARA Digital dan berapakah jumlah keseluruhan peniaga yang telah beroperasi di MARA Digital yang telah diwujudkan di beberapa tempat di seluruh negara.

Datuk Alexander Nanta LinggiPBB · GPSTimbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah · Kapit

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, selamat pagi saya tidak bersedia untuk menjawab secara berpantun. Akan tetapi tidak mengapa, ini jawapan rasminya. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat Sungai Besar, jumlah MARA Digital yang telah dibuka setakat ini adalah sebanyak empat buah iaitu, MARA Digital Menara MARA, Kuala Lumpur; MARA Digital Anggerik Mall Shah Alam, Selangor; MARA Digital Ipoh, Perak dan MARA Digital Kuantan, Pahang. Keseluruhan lot yang ditawarkan adalah sebanyak 109 buah lot yang telah dimanfaatkan oleh 89 orang usahawan dan jumlah jualan terkumpul di seluruh MARA Digital setakat bulan Januari 2018 ini adalah sebanyak RM37.7 juta. Manakala rekod pengunjung yang datang ke seluruh MARA Digital setakat Januari 2018 adalah sebanyak dua juta orang. Sekian, terima kasih.

Tuan Budiman bin Mohd ZohdiUMNO · BNSungai Besar

Saya fikir isu besar yang mesti ditangani adalah soal pembekalan. Jikalau lah peniaga di MARA Digital itu juga mengambil daripada pembekal yang sama, jadi bagaimana mereka mahu ada harga yang kompetitif yang boleh ditawarkan kepada pengguna. Kita juga merujuk isu, bagaimanakah di MARA Digital ini isu gajet, produk tiruan itu dapat ditangani. Ini kerana persaingan soal gajet lebih terbuka di pasaran terbuka dan sebagainya.

Ya, untuk menjawab soalan yang bertanya tentang bagaimana bahan-bahan digital yang dijual di MARA Digital Mall itu kompetitif atau tidak? Sesungguhnya memang seperti mana pasaran yang kompetitif, memang ada gajet- gajet ataupun produk-produk yang dijual ada kelebihan harga murah sedikit. Ada juga yang sama dengan yang dijual di tempat-tempat yang lain. Ini kerana di negara kita keseluruhannya memang, kebanyakan produk-produk teknologi ini adalah dibekalkan oleh principal yang memang sudah established principal, jadi di situ terletaknya harga tetap. Cuma kelebihan adalah di mana marginnya boleh ditentukan dengan sewa lebih murah dan tempatnya yang lebih kompetitif dan tidak. Akan tetapi itu bukan tujuan utama MARA Digital membuka Digital. Ini kerana objektif utamanya adalah untuk MARA Digital Mall ini dibuka adalah kerana hendak membuka peluang kepada usahawan-usahawan dalam bidang ini, lebih lagi dari golongan bumiputera menceburi dalam bidang ini. Jadi MARA Digital ini adalah sebagai satu platform yang di mana macam inkubator dalam industri ini kepada entrepreneur ataupun usahawan bumiputera kita. Itu tujuan sebenarnya. Jadi, memang kita menghadapi cabaran dan kengkangan dari segi market dia. Akan tetapi kita boleh bertahan setakat ini. Oleh sebab itu, dasar MARA untuk membuka satu Digital Mall sekurang-kurangnya di setiap negeri di seluruh negara kita.

Kedua, bagaimana kita hendak menjamin kualiti? Memang bukan hanya kualiti ketulenan sahaja, tetapi dari segi pelbagai isu juga hal yang berkaitan dengan, supaya keyakinan market ataupun pasaran pengguna ada kepada digital. Ada juga ditubuhkan badan yang membantu yang dipanggil Jawatankuasa Pemandu MARA Digital. Tujuannya adalah badan pelaksana dan penyelaras MARA Digital di peringkat negeri yang terlibat dalam merancang, mengenal pasti, melaksanakan dan memastikan. Merancang ini, badan ini akan membantu MARA dalam penubuhan di peringkat negeri, program keseluruhan termasuk majlis perasmiannya. Mengenal pasti lokasi dan premis yang bersesuaian misalnya. Calon-calon anchor tenant yang berwibawa dan usahawan ICT yang boleh dibangunkan dan dalam isu melaksanakan program pembangunan usahawan ICT, aktiviti promosi secara berkala. Begitu juga memastikan laporan bulanan dihantar untuk setiap masa yang ditetapkan, supaya kita dapat membuat pemantauan. Jadi inilah jawapannya. Sekian, terima kasih.

Tuan Idris bin Haji AhmadPAS · PNBukit Gantang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Oleh sebab perniagaan digital ini agak baru terutama di kalangan bumiputera, jadi persoalan saya, kerana sepertimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Sungai Besar tadi ialah, yang dihadapi oleh peniaga-peniaga ini ialah soal pembekalan. Jadi apakah langkah-langkah patut diambil oleh pihak kementerian, terutamanya untuk memecah monopoli dari kalangan pembekal-pembekal ini supaya di sana tidak wujudnya peniaga-peniaga yang terpaksa gulung tikar, ataupun mereka terpaksa bersaing dan akhirnya, mereka terpaksa tutup perniagaannya, walaupun kita telah memberikan peluang untuk berniaga di pusat-pusat perniagaan di MARA Digital ini, minta penjelasan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua, soalannya bagaimana, apa perancangan untuk memecahkan monopoli? Sebenarnya industri ini memang begitu luas dan begitu terbuka sekali lah. Jadi dikatakan, memecahkan monopoli ini, memang agak sukar, tetapi mengikut pasaran supply demand. Monopoli ini adalah, bukan dikatakan sembarangan monopoli, sebab dia ada principal yang dilantik oleh syarikat besar yang mengeluarkan produk ini. Jadi di negara kita, itu adalah sistem, sebab mereka ini dilantik dan bukan dilantik oleh kita, tetapi dilantik oleh pembuat itu. Jadi bagi kita di peringkat kementerian, malah kita sentiasa mencari kaedah dan langkah-langkah bagaimana kita boleh mencari kelebihan ataupun ruang dan peluang untuk kita dapat bersaing. Oleh sebab itu, seperti mana objektif utamanya kita menubuhkan konsep Digital MARA ini adalah supaya minat lebih lagi akan kita dapat intensify - kan atau kita perhebatkan lagi di antara kalangan usahawan bumiputera supaya kita harapkan ada nanti yang berjaya dan begitu boleh besar di peringkat global dan bersaing dengan principal pembekal itu. Mungkin buat setakat ini kita belum sampai ke tahap itu lagi. Sekian, terima kasih.

[Soalan No. 8 - Dr. Michael Jeyakumar Devaraj (Sungai Siput) tidak hadir]

Hasbullah bin OsmanUMNO · BNGerik · question

9. Dato' Hasbullah bin Osman [Gerik] minta Menteri Kesihatan menyatakan, apakah usaha pihak Kementerian dalam menjayakan Program Wakaf ke sektor kesihatan terutamanya bagi rawatan hemodialisis bagi membantu golongan asnaf.

Dato’ Seri Dr. Hilmi bin YahayaUMNO · BNTimbalan Menteri Kesihatan · Balik Pulau

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Gerik. Soalan ini berkenaan Program Wakaf hemodialisis.

Dato’ Seri Dr. Hilmi bin YahayaUMNO · BNTimbalan Menteri Kesihatan · Balik Pulau

Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan ataupun NGO, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat mereka ataupun program wakaf telah membantu mengurangkan kos pembiayaan perubatan yang perlu ditanggung oleh pesakit dan waris, termasuk rawatan hemodialisis bagi membantu golongan asnaf.

Dato’ Seri Dr. Hilmi bin YahayaUMNO · BNTimbalan Menteri Kesihatan · Balik Pulau

Sumbangan adalah dalam bentuk peralatan, ubat-ubatan ataupun wang di mana perolehan peralatan dan ubat akan dibuat di peringkat KKM dan hospital. Antara inisiatif KKM yang dilaksanakan adalah satu, mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan dengan NGO, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta. Kedua, permohonan rasmi kepada syarikat- syarikat berkaitan kerajaan dan swasta untuk memberi sumbangan kepada persatuan- persatuan NGO berkaitan penyakit-penyakit tertentu. Selain daripada itu Tuan Yang di-Pertua, KKM turut mengadakan Program Bantuan Subsidi Rawatan Hemodialisis yang telah dimulakan sejak tahun 2001 kepada pesakit- pesakit kurang kemampuan untuk menjalani rawatan hemodialisis di pusat-pusat dialisis NGO yang diiktiraf oleh KKM. Di bawah Bajet 2018, bantuan ini telah ditingkatkan kepada RM100 daripada RM50 bagi setiap rawatan hemodialisis. Hal ini telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2018 iaitu RM50 juta untuk hemodialisis dan juga untuk injection erythropoietin Tuan Yang di-Pertua. Bantuan ini disediakan kepada semua pesakit kurang mampu, termasuklah kepada golongan asnaf dan pesakit-pesakit ini juga menerima bantuan suntikan erythropoietin mulai 1 April 2009 berdasarkan tahap hemoglobin mereka dengan jumlah maksimum tiga suntikan seminggu. Justeru, KKM juga tiada halangan terhadap mana-mana program wakaf yang bertujuan untuk mewujudkan sesebuah pusat hemodialisis swasta sama ada melalui NGO ataupun pihak swasta dengan syarat mematuhi keperluan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 ataupun Akta 568 dan peraturan- peraturannya. KKM juga tidak ada halangan bagi mana-mana pihak untuk mewakafkan apa- apa keperluan atau peralatan bagi perkhidmatan atau rawatan dialisis bagi kegunaan pesakit dan juga golongan asnaf Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya difahamkan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) ditubuhkan oleh Johor Corporation dan soal wakaf tadi, dibuat melalui KPJ dengan kerjasama Majlis Agama. Caj yang dikenakan kepada asnaf cuma RM5. Soalan saya, adakah pihak kementerian menjalankan kerjasama bersama-sama dengan agensi swasta dalam melaksanakan program wakaf di setiap hospital ataupun poliklinik kerajaan serta klinik-klinik swasta? Apakah kekangan yang dihadapi oleh pihak kementerian dalam menjayakan program wakaf di setiap hospital milik kerajaan? Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua, memang pihak Kementerian Kesihatan memang banyak mengeluarkan bantuan kepada pusat-pusat hemodialisis terutama sekali oleh NGO Tuan Yang di-Pertua. Tahun lepas contohnya, kita telah mengeluarkan lebih kurang RM40 juta untuk bantuan ‘one-off’ kepada pusat-pusat ini untuk membeli mesin dan juga peralatan-peralatan lain untuk menjalankan aktiviti mereka. Mereka cuma memohon tahun lepas, tahun ini sudah tidak ada. Peruntukan untuk ‘one-off’ ini sudah tidak ada lagi. Cuma, kita tambah peruntukan untuk tiap-tiap pusingan dialisis daripada RM50 kepada RM100 dan injection erythropoietin. Jadi walau bagaimanapun, pihak kementerian tidak ada halangan langsung untuk mana-mana pihak NGO, ini bukan swasta, NGO dan juga mana-mana badan wakaf untuk berunding dan pihak- Pusat-pusat ini boleh memohon kepada kementerian untuk mendapatkan bantuan yang RM100 itu Tuan Yang di-Pertua. Bermakna, apabila mereka membuat permohonan melalui pusat masing-masing, kita akan semak balik, kalau dia memang layak, kita memang bagi bantuan tersebut Tuan Yang di-Pertua. Jadi, tidak timbul masalah kekangan dan sebagainya Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua di atas peluang ini.

Untuk soalan tambahan, Yang Berhormat Menteri, saya sebenarnya sangat tertarik dengan soalan ini kerana soal yang perlu saya ketengahkan ini adalah soal kelulusan yang sangat rigid oleh kementerian kepada NGO-NGO yang ingin membantu masyarakat sama dalam mendapatkan tempat dan kelulusan untuk mengoperasi sebuah pusat dialisis. Hal ini berlaku di tempat saya kerana mereka beberapa kali memohon, sehingga hari ini pun kelulusan tidak ada. Janganlah hanya tumpu bagi kelulusan kepada NGO yang besar-besar. Kita juga mempunyai orang yang ramai Yang Berhormat Menteri, yang hendak membantu. Jadi, bagaimana peranan dan kelonggaran syarat-syarat oleh pihak kementerian bagi membolehkan dan menggalakkan masyarakat yang prihatin? Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua, pusat hemodialisis seperti juga klinik ataupun hospital swasta. Kalau mereka hendak tubuhkan satu pusat begini, maka dia kena buat permohonan kepada CKAPS iaitu di bawah peraturan pusat-pusat rawatan swasta Tuan Yang di-Pertua. Memang ada peraturan-peraturannya termasuklah zoning Tuan Yang di-Pertua. Zoning memang ada masalah, saya memang faham tentang zoning ini kerana ini termaktub di dalam akta. Jadi kita tidak boleh lari, kecuali kalau kita buat pindaan bawa balik kepada Parlimen. Jadi, akta ini- zoning ini dia mesyuaratkan supaya mana-mana pusat ataupun hospital ataupun klinik, mestilah lebih daripada 30 kilometer daripada yang satu lagi yang sudah ada. Ini adalah syarat dia, kecuali kalau ada keperluan-keperluan tertentu. Jadi maknanya, di dalam syarat ini memang ketat. Selain daripada itu, kena ada person in charge. Dia kena ada pengalaman sekurang-kurangnya 200 jam pengalaman. Maknanya dia kena pergi training- person in charge. Juga, pusat-pusat ini mestilah di bawah pakar-pakar nefrologi. Syarat-syarat ini kena ada. Selain daripada itu, bangunan itu sendiri, pusat itu sendiri mestilah menepati syarat- syarat yang disediakan, yang telah ditetapkan dalam peraturan-peraturan. Ini amat ketat sedikit kerana kita tidak mahu berlaku masalah-masalah timbul kerana kadang-kadang infection berlaku. Jadi, ini menyusahkan seluruh rakyat kita. Oleh sebab itu, kita dalam hal ini kita amat teliti di dalam hendak meluluskan mana- mana projek. Akan tetapi kalau ada yang menepati semuanya, maka tidak ada masalah, kita boleh luluskan. Cuma yang dipertikaikan ini, saya pun agak bersetuju juga dengan ini kerana mereka yang hendak bina atau mahu wujudkan pusat-pusat dialisis ini, dia hendak cari tempat yang ada pesakit. Kalau kita suruh dia pergi ke kampung, kawasan lain, dia tidak ada pesakit. Jadi, dia hendak tempatkan pusat dia di kawasan-kawasan dalam bandar. Kawasan dalam bandar sudah ramai, sudah banyak. Jadi dalam perkara ini, ada sedikit masalah daripada segi kelulusan Tuan Yang di-Pertua. Jadi, ini semua kita boleh pertimbangkan, kalau rayuan kita boleh pertimbangkan Tuan Yang di-Pertua.

Er Teck HwaDAP · PRBakri · question

10. Tuan Er Teck Hwa [Bakri] minta Perdana Menteri menyatakan, jumlah bilangan bankrap, dan berapa bilangan yang berjaya melepaskan diri daripada status bankrap di setiap negeri mengikut tahun 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017.

Datuk Wira Razali bin IbrahimUMNO · BNTimbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri · Muar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Malaysia negaraku. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, bagi tempoh sepanjang tahun 2013 hingga 2017, seramai 100,610 orang telah diisytiharkan bankrap. Daripada jumlah tersebut dan bagi tempoh sepanjang tahun yang sama, serama 14,108 orang atau 14.2 peratus orang bankrap telah berjaya dilepaskan. Manakala bilangan bankrap yang berjaya dilepaskan mengikut tahun adalah seperti berikut: |Tahun|Jumlah|Peratus| |----:|-----:|------:| | 2013| 2936| 20.81| | 2014| 2852| 20.22| | 2015| 2731| 19.35| | 2016| 2732| 19.36| | 2017| 2857| 20.25|<END_TABLE_MARKER>

Datuk Wira Razali bin IbrahimUMNO · BNTimbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri · Muar

Secara keseluruhannya, negeri Selangor mencatatkan jumlah pelepasan dan pembatalan kebankrapan yang tertinggi iaitu seramai 4,189 orang diikuti dengan Johor seramai 2,278 orang, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan bilangan pelepasan seramai 1,665 orang dan 1,002 orang. Sarawak mencatatkan pelepasan kebankrapan seramai 961 orang, Perak seramai 895 orang, Sabah seramai 737 orang, Kedah seramai 550 orang, Pahang seramai 468 orang, Negeri Sembilan seramai 423 orang, Kelantan seramai 342 orang, Melaka seramai 291 orang, Terengganu seramai 253 orang dan Perlis seramai 54 orang. Terima kasih.

Tuan Er Teck HwaDAP · PRBakri

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Menteri menjawab soalan daripada Bakri. Soalan tambahan Bakri ialah apa langkah-langkah diambil oleh kementerian menolong golongan bankrap ini dan sila menyatakan jumlah bilangan bankrap mengikut jantina, bangsa dan umur. Sekian, terima kasih.

Nasib baik Muar sebelah Bakri. Saya sudah boleh baca dah pemikiran Yang Berhormat Bakri ini. Dia hendak tanya statistik. Saya ada statistik ini. Pertama, statistik mengenai jumlah gender. Lelaki lebih kurang 69 perpuluhan- sekejap ya. Lelaki lebih ramai daripada perempuanlah- 69 perpuluhan- banyak sangat ini. Lelaki sejumlah 69.11 peratus, perempuan sejumlah 30.89 peratus. Bagi bangsa, Melayu sejumlah 54.21 peratus, Cina sejumlah 27.66 peratus, India sejumlah 12.73 peratus, lain-lain sejumlah 5.4 peratus. Apa yang kita bantu adalah dengan seperti Yang Berhormat semua terlibat apabila kita membuat pindaan kepada Akta Kebankrapan, kepada Akta Insolvensi, sebenarnya kita telah pun menaikkan threshold kepada jumlah yang boleh bankrap. Kalau dulu RM30,000, sekarang RM50,000. Kita juga memberikan pindaan kepada penjamin sosial. Kita juga membuat pindaan – Ini sepatutnya Yang Berhormat sudah tahu sebab kita yang luluskan tahun lepas iaitu penyampaian secara terus kepada orang yang meminjam ataupun yang menjadi penjamin, tidak boleh secara subservient service. Yang Berhormat Ipoh Barat pandang saya itu, straight. Belum habis lagi. Hendak beritahu bahawa perkara- perkara yang kita buat adalah termasuk untuk memastikan tidak mudah untuk kita bankrapkan orang. Kita hendak guna tenaga dalam negara kita ini dapat terus aktif dalam menyumbang kerana jumlah orang yang bankrap terlalu tinggi, boleh mengurangkan produktiviti. Jadi apa yang dibuat pindaan kepada akta tersebut sebenarnya untuk kita bersama-sama bertanggungjawab dalam mengurus kewangan kita. Pihak institusi kewangan juga perlu memainkan peranan untuk tidak sewenang- wenangnya memberi pinjaman kepada orang yang tidak mampu membayar sehingga mereka menjadi seorang bankrap. Akhirnya terpaksa masuk dalam senarai insolvensi dan mereka tidak dapat menjaga keluarga atau diri mereka dengan lebih baik. Jadi perkara-perkara ini adalah perkara yang dibuat secara pindaan akta. Insolvency Department ataupun Jabatan Insolvensi, kita memberikan khidmat nasihat, kaunseling dan juga mentadbir harta si bankrap ini agar mereka segera dapat dikeluarkan daripada kebankrapan. Terima kasih.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNSekijang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Isu kebankrapan ini memang agak serius dan kita lihat ramai di kalangan golongan muda sebenarnya terlibat dengan bankrap ini dan walaupun dimaklumkan oleh Menteri tadi berkaitan dengan pelepasan kebankrapan, telah ramai kita dapat bantu terutamanya melalui agensi yang telah dilantik melalui AKPK. Soalan saya, sejauh mana KPI syarat pelepasan kebankrapan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia berjaya dipenuhi oleh golongan bankrap dan sejauh mana mekanisme bimbingan AKPK telah berjaya membantu golongan yang berisiko ini untuk menstrukturkan semula masalah kewangan mereka. Terima kasih.

Pertama, AKPK ini bawah Bank Negara, bawah Kementerian Kewangan. Mereka memberi kaunseling kepada orang yang hendak menguruskan akaun dan mereka yang di bawah AKPK ini sepatutnya bukan seorang bankrap. Ia ada dua. Satu kaunseling, dua, Debt Management Programme. Maknanya program untuk mereka mengendalikan hutang. Kalau ikut statistik, lebih daripada 600,000 di bawah program untuk kaunseling dan 200,000 lebih yang terlibat dengan Debt Management Programme. Akan tetapi yang penting mereka mesti bukan bankrap. Itu perkara pertama yang saya kena betulkan.

Jabatan Insolvensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, kita melihat untuk membawa mereka keluar dan ada empat cara untuk seseorang itu dikeluarkan daripada kebankrapan. Pertama, pembatalan mahkamah di mana hutang dalam satu kes itu telah dibayar sepenuhnya ataupun penghutang itu tidak boleh atau tidak sepatutnya dibankrapkan. Itu di bawah seksyen 105. Kedua, pelepasan mahkamah di bawah seksyen 33. Itu adalah tertakluk kepada bantahan pemiutang dan juga laporan KPI. Apa yang mungkin Yang Berhormat Sekijang maksudnya adalah dua perkara lagi iaitu sijil pelepasan daripada Ketua Pengarah Insolvensi. Seseorang yang bankrap itu paling awal boleh mohon kalau dulu lima tahun, sekarang ini kalau dia tiga tahun dalam kes tertentu, boleh mohon. Kita juga memberi pelepasan automatik bagi yang sudah mati, bagi yang sakit kronik. Itu automatiklah. Keempat adalah skim komposisi dan skim penyusunan bawah seksyen 26 iaitu kita akan tengok jumlah harta, jumlah hutang dan kita akan bayar dalam syarat-syarat yang ditetapkan. Akhir sekali sebab Yang Berhormat orang muda, Yang Berhormat juga menyebut tentang ramai orang muda. Saya bagi statistiklah. Mereka yang terlibat dalam kebankrapan usia 35 hingga 44 adalah seramai 34.4 peratus. Ini adalah jumlah yang paling tinggi. Kedua paling tinggi usia 45 hingga 54, 26.37 peratus dan kedua-dua daripada usia 35 hingga 54, sebenarnya mewakili 60.77 peratus. Kita yang di bawah umur 25 seramai 1 peratus, umur 25 hingga 34 seramai 24 peratus. Memang betul orang muda yang baru bekerja antara mereka yang terlibat dalam kebankrapan kerana hutang kereta, hutang kenderaan ataupun hutang peribadi antara penyumbang. Akan tetapi kita harap dengan threshold yang dinaikkan RM50,000 itu tidak semudah-mudah kita boleh bankrapkan, boleh ambil prevention ataupun langkah awal sebelum anak muda kita ini bankrap dan kita terugi dari segi kemampuan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara kita. Kita hendak, kerajaan hendak supaya rakyat kita tidak ramai yang bankrap. Kita ambil macam-macam cara untuk memastikan mereka terus dapat menyumbang dan dapat hidup selesa dalam negara kita. Terima kasih.

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Walaupun hasrat kerajaan adalah untuk mengelak muda-mudi terlibat atau mudah bankrap tetapi nampaknya percentage kebelakangan ini naik dan ini lebih ketara kalau banding dengan negara-negara lain. Apakah sebab ini berlaku dan bukankah ramai di antara Y Generations ini yang terperangkap dengan kemahuan atau overspending adalah perkara yang terutama? Mungkin perlu ada inisiatif dan insentif yang lain supaya mengatasi masalah berkaitan. Berkaitan dengan perkara ini, si bankrap yang lebih dari lima tahun, adakah inisiatif atau insentif yang lebih diberi untuk write off this amount supaya mereka boleh menjalankan tugas mereka seperti yang dikata produktiviti mereka boleh diambil kira, diberi peluang kepada mereka? Terima kasih.

Tadi saya sudah beritahu tentang usaha yang kita ambil, jumlah yang naik kerana kadang-kadang sikap kita. Akan tetapi kalau Yang Berhormat tengok, perkara-perkara yang biasa sepatutnya tidak boleh bankrap sebab jumlah untuk bankrap, katakanlah ambil credit card. Pihak financial institution sepatutnya boleh sedar, jangan tunggu dia hutang sampai RM50,000 baru hendak ambil tindakan. Bila dia tidak mampu untuk bayar dalam jumlah pinjaman credit card tidak berbayar RM10,000 atau RM20,000, ambillah tindakan mahkamah. Jadi mereka itu nanti kalau dapat judgement sekalipun, dia hanya boleh buat untuk writ of seizure and sale. Maknanya tidaklah dia jadi bankrap. Saya rasa tidak adil kalau orang yang sudah tidak bayar credit card sampai RM50,000, kita tunggu sampai begitu banyak untuk kita kutip. Jadi sebab itu hasrat kita di Dewan ini, naikkan threshold supaya hanya yang benar-benar tidak bayar kerana kesilapan mereka sahaja yang dihukum.

Kedua, pelepasan kepada penjamin sosial. Maknanya yang menjamin itu boleh beri kerjasama kepada pihak Insolvensi, carilah orang yang pinjam. Ini yang kita dulu dia pun kena macam dia pinjam duit, sekarang tidak. Oleh sebab itu perkara itu juga kita harap dapat mengurangkan.

Ketiga, kita beri hari bertemu pelanggan. Kita beritahu kepada orang ramai supaya jangan lari, jangan takut dengan Insolvensi kerana kita ini kawan. Kita nak tolong. AKPK pun sama. Dia nak tolong supaya hasrat kita ini difahami. Kalau kita tak sama-sama buat perkara ini, kita masih gembira dengan jumlah yang dapat kita bankrapkan, maka hasrat kita untuk pinda Akta Kebankrapan kepada Akta Insolvensi itu tidak akan tercapai. Jadi kepada semua, kepada rakyat pun kita nak beritahu bahawa jagalah akaun kemampuan masing-masing supaya mereka tidak menjadi orang yang mudah terjerumus kepada seorang bankrap kerana seorang bankrap tidak dapat untuk melakukan pelbagai perkara. Yang Berhormat Ipoh Barat tanya juga yang kedua tentang lima tahun. Selalunya yang membuat, kita nak lepaskan tetapi ada satu prosedur yang mana pemiutang itu dia akan buat bantahan. Orang yang bagi hutang dia buat bantahan, makna itu ada satu lagi prosedur yang terpaksa kita penuhi dan untuk makluman Yang Berhormat, kita seboleh-bolehnya berbincang dengan pihak bank, pihak institusi kewangan untuk kita lepaskan mereka ini selepas rayuan dibuat, kalau ada bantahan kepada cadangan Ketua Pengarah untuk melepaskan mereka sebagai seorang bankrap. Yang Berhormat, saya bagi tahu 100 ribu dalam jumlah besar sebenarnya ada 300 ribu jumlah orang yang bankrap di bawah Insolvensi. Yang Berhormat Bakri tanya dari tahun 2013-2017, jadi saya bagi jumlah tersebut tetapi kalau nak tengok keseluruhan yang ada di bawah Jabatan Insolvensi, 300,958 orang. Kita dalam usaha nak kurangkan jumlah ini. Ini jumlah keseluruhan yang ada di bawah Jabatan Insolvensi. Banyak kerja kita nak selesaikan yang ini dan kita memang nak bantu seperti Yang Berhormat tanyalah. Terima kasih.

Ismail bin DautUMNO · BNMerbok · question

11. Dr. Ismail bin Daut [Merbok] minta Menteri Beliau dan Sukan menyatakan, adakah pihak kementerian dapat memastikan golongan belia di kawasan luar bandar terutama di kawasan kampung dapat kemudahan sama seperti belia di kawasan bandar.

Datuk M. SaravananMIC · BNTimbalan Menteri Belia dan Sukan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, belia kawasan luar bandar dan bandar mendapat kemudahan yang sama. Antara kemudahan tersebut adalah kemudahan fizikal dan kemudahan bukan fizikal. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Belia dan Sukan sememangnya mempunyai perancangan untuk menambah kemudahan dan fasiliti sukan yang berkualiti kepada rakyat secara berperingkat di luar bandar khususnya dalam Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kesebelas bagi memastikan golongan belia di kawasan luar bandar mendapat kemudahan yang sama seperti golongan belia di bandar. Daripada aspek kemudahan fizikal adalah seperti naik taraf dan bina baru kemudahan gelanggang sukan dan gelanggang futsal seluruh negara. Untuk tahun 2018, kemudahan yang akan dibina dan dinaiktarafkan adalah seperti berikut: (i) naik taraf Gelanggang Futsal 1Malaysia sebanyak 447 buah dengan kos sebanyak RM8.2 juta; (ii) membina baru Gelanggang Futsal 1Malaysia sebanyak 79 buah dengan kos RM16.9 juta; (iii) naik taraf 78 buah kemudahan sukan dengan kos RM31.5 juta; dan (iv) bina baru 30 kemudahan sukan dengan kos RM52.8 juta. Untuk tujuan rekod Yang Berhormat Merbok, terdapat beberapa kemudahan yang terletak di kawasan luar bandar bagi negeri Kedah iaitu Kompleks Sukan Padang Terap dan Kompleks Sukan Jerlun yang telah dibina oleh KBS. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)

Baiklah Ahli-ahli Yang Berhormat, selesai sudah sesi pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan. [Masa untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]

Usul — Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan AgongMotion

Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah: “Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya; “Ampun Tuanku, Patik Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda semasa membuka Penggal Keenam, Parlimen Yang Ketiga Belas”. [8 Mac

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)

Ya, saya jemput Yang Berhormat Batu Kawan. Ada 16 minit lagi.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua di atas peluang untuk Batu Kawan menyambung ucapan Menjunjung Kasih Titah Diraja semalam. Saya menyambung daripada poin yang saya tinggal semalam. Saya mohon agar pihak polis mengambil tindakan yang serius terhadap empat lelaki ini yang telah memuat naik video mereka merampas dan menggertak peserta-peserta wanita yang turut serta dalam himpunan aman pada 10 Mac yang lalu untuk menuntut hak wanita sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan isu kedua saya berhubung dengan peruntukan RM1 bilion yang sudah pun dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui JPS Pulau Pinang dan telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan namun masih belum disalurkan lagi ke Negeri Pulau Pinang. Saya membangkitkan isu ini di Dewan yang mulia ini kerana saya berasa agak terkilan dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan juga Ahli Parlimen Pekan. Dalam pengumuman Majlis Pecah Tanah di Bandar Pekan bahawa sebanyak RM564 juta telah diperuntukkan bagi projek tebatan banjir di kawasan Parlimen beliau, Parlimen Pekan yang akan membantu 83,000 orang di sana. Saya menyokong mana-mana usaha kerajaan untuk membantu projek tebatan banjir di mana-mana jua untuk kebaikan penduduk di sana menjelang ketidakpastian dengan perubahan cuaca yang nampaknya akan terus kekal seperti ini. Namun saya mohon agar Perdana Menteri janganlah memilih bulu dan bermain politik dengan peruntukan RM1 bilion untuk rakyat Pulau Pinang seramai 1.7 juta bagi 13 projek tebatan banjir di seluruh negeri Pulau Pinang. Takkanlah kalau kawasan Parlimen Pekan dengan 83,000 orang yang bernilai RM564 juta diluluskan, RM1 bilion untuk 13 projek di seluruh negeri Pulau Pinang masih belum lagi disalurkan untuk kebaikan penduduk di sana. Oleh itu saya mohon agar Perdana Menteri hadir di Dewan Rakyat ini untuk memaklumkan tarikh peruntukan RM1 bilion itu akan disalurkan ke negeri Pulau Pinang agar kerja-kerja tebatan banjir dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin. [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Tuan Yang di-Pertua, pada 21 Februari yang lepas, dalam satu insiden menyayat hati telah berlaku di Kampung Tok Panjang di kawasan saya, Parlimen Batu Kawan. Seorang bayi berumur 46 hari telah mati akibat didera dengan teruk oleh bapa tirinya yang hanya berumur 22 tahun. Ayah tiri yang telah disiasat di bawah seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak telah didakwa dan akhirnya telah disiasat di bawah Akta Kanak-kanak dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan 302 iaitu membunuh. Tiga tahun lepas, pada tahun 2015, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti telah mengumumkan bahawa undang-undang baharu akan diperkenalkan untuk mencegah perbuatan penderaan kanak-kanak dan keganasan seksual terhadap kanak-kanak serta hukuman yang lebih berat bagi jenayah seperti ini. Apakah status rang undang-undang baharu ini? Menteri sendiri telah mengesyorkan bahawa peruntukan dalam Akta Kanak-kanak 2001 ini tidak mencukupi untuk mendakwa penjenayah keganasan terhadap kanak-kanak dan juga dipetik menyatakan akta sedia ada memerlukan pindaan hampir 70 peratus dan ada baiknya ianya dibentangkan untuk satu rang undang-undang yang baharu di Dewan yang mulia ini. Saya ingin bertanya Tuan Yang di- Pertua, mengapa belum lagi dibentangkan di Dewan yang mulia ini? Tak guna Menteri membuat kenyataan di majlis dan di program menyatakan perlu ada undang-undang baharu walhal kuasa berada di pihak kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang baharu untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Apa yang melewatkan undang-undang baharu ini dibentangkan dalam Dewan Rakyat? Mungkin kah undang-undang baharu pencegahan keganasan terhadap kanak- kanak sekiranya dibentangkan dapat menghalang penderaan terhadap adik Nur Aina di Port Dickson dan adik Nurul Ain Humairah Mohd. Firdaus di Bukit Tengah yang telah menyebabkan kedua-dua anak ini mati di tangan ayah dan ayah tiri mereka? Berapa ramai lagi kanak-kanak perlu menjadi mangsa keganasan seperti ini sebelum kerajaan dengan izin, step up its game to protect our children? Dalam nadi yang sama Tuan Yang di-Pertua, saya ingin tahu juga pendirian Kerajaan Malaysia, pendirian Perdana Menteri, pendirian Menteri Wanita di atas isu perkahwinan kanak-kanak. Setakat ini memandangkan isu ini sangat sensitif di Malaysia, kami belum tahu, mendapat apa-apa kepastian apakah pendirian Kerajaan Malaysia berhubung dengan isu perkahwinan kanak-kanak. Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan di Dewan yang mulia ini berhubung dengan kerja-kerja pembaikpulihan jalan-jalan di kawasan Parlimen Batu Kawan yang masih dalam proses menunggu respons atau feedback daripada Kementerian Kerja Raya melalui JKR Pulau Pinang. Jalan-jalan negeri di bawah kerajaan negeri memang di bawah penyelenggaraan kerajaan negeri namun jalan persekutuan terletak di bawah budi bicara Kerajaan Pusat. JKR Negeri Pulau Pinang telah pun menghantar surat kepada ibu pejabat JKR tahun lepas untuk memohon peruntukan bagi kerja-kerja resurface jalan dan membuat petak kuning di atas beberapa jalan-jalan persekutuan di kawasan Parlimen Batu Kawan.

Namun sehingga kini bukan saya sahaja, namun JKR Negeri Pulau Pinang mahupun JKR Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah juga masih menunggu jawapan daripada Ibu Pejabat JKR. Mengapa sekali lagi saya bertanya wujud kelewatan sebegini. Adakah sebab pemohonnya adalah di bawah negeri pimpinan Pakatan Harapan ataupun kementerian kehausan dana kerana disalurkan ke negeri di bawah Barisan Nasional. Tidak mungkin kementerian tiada dana. Semua Ahli Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri dan Perdana Menteri sendiri mengaku dan menyatakan bahawa ekonomi negara dalam keadaan gah dan sihat. Cukuplah dana atau peruntukan untuk kerja-kerja pembaikpulihan jalan-jalan di seluruh negara kita. Namun jalan-jalan di kawasan Parlimen Batu Kawan dan Pulau Pinang ini masih menghadapi kekangan dari segi peruntukan dana ataupun yang disalurkan untuk kerja-kerja menaik taraf dan pemulihan jalan. Saya mohon agar Menteri memberi jawapan di Dewan yang mulia ini dengan jelas mengapa wujud kelewatan ini dalam kelulusan peruntukan dan juga penyaluran peruntukan ini untuk kerja-kerja menaik taraf jalan di kawasan Parlimen Batu Kawan serta tarikh peruntukan ini akan disalurkan agar saya, penduduk-penduduk, pengundi-pengundi di kawasan saya terutama sekali JKR Daerah dan JKR Pulau Pinang tahu bila mereka boleh memulakan kerja-kerja dan membuat persediaan untuk memulakan kerja-kerja tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, dalam perbahasan saya di Dewan yang mulia ini pada tahun 2013 saya telah bertanyakan apakah status peruntukan pembangunan kawasan Parlimen Batu Kawan dan bagi semua kawasan Parlimen di Malaysia. Soalan tersebut telah dijawab oleh Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri pada masa itu Yang Berhormat Arau bahawa peruntukan RM1 juta telah pun disalurkan kepada pegawai pembangunan negeri bagi setiap kawasan Parlimen melalui PPN Negeri. Apabila saya menelefon Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang yang berada dalam Wisma UMNO, pegawai yang bekerja di sana tidak tahu apa yang saya maksudkan, seolah-olah apa yang Menteri katakan di sini dan apa yang berlaku di pejabat tersebut, tidak ada kaitan langsung. Tuan Yang di-Pertua, saya minta penjelasan, mengapa wang yang disalurkan untuk kegunaan pembangunan kawasan-kawasan Parlimen tidak melalui Ahli Parlimen itu sendiri, walaupun ianya di kawasan pembangkang. Kalau tidak pun, setidak-tidaknya wang tersebut bolehlah diletakkan di bawah kawal selia pejabat daerah ataupun di bawah kawal selia kerajaan negeri supaya dia dapat diaudit dengan teliti, dengan telus dan penuh integriti. Tuan Yang di-Pertua, mengikut soalan yang telah saya tanyakan pada 6 November lalu, jawapannya yang juga berhubung dengan peruntukan Pejabat Pembangunan Persekutuan. Saya agak terkejut dalam empat tahun ini sebanyak 474 program dan projek telah dilaksanakan di kawasan Parlimen Batu Kawan yang berjumlah RM4.26 juta. Saya tidak tahu apa projek yang telah dijalankan. malah saya tidak tahu pecahan kepada projek-projek tersebut. Akan tetapi saya ada breakdown. Ini jawapan yang saya dapat daripada Jabatan Perdana Menteri. Sebanyak 33 projek tahun 2013 bernilai RM300,000, 23 projek pada tahun 2014 bernilai RM320,000, 115 projek pada tahun 2015 bernilai RM630,000, 135 projek pada tahun 2016 bernilai RM890,000 dan 168 projek pada tahun 2017 bernilai RM2.12 juta. Tuan Yang di-Pertua, sehingga kini bukan saya sahaja, banyak Ahli Parlimen daripada sebelah pembangkang, saya tidak tahu sebelah kerajaan tetapi sebelah pembangkang ini kami tidak tahu berapa amaun yang telah diberikan daripada dana khas peruntukan khas Perdana Menteri melalui ICU untuk kerja-kerja pembangunan di kawasan kami. Apakah projek-projek ini? 400 lebih projek ini, takkan Ahli Parlimen sendiri tidak tahu. Siapa yang mengaudit wang tersebut? RM4.26 juta, siapa kontraktornya? Adakah ia melalui tender terbuka? Adakah ia direct-nego? So, saya minta Menteri datang ke Dewan yang mulia ini untuk memberi penjelasan, pencerahan kepada kami. Sekiranya kami boleh memohon, tolonglah beritahu Ahli Parlimen sebelah sini, bagaimana kami boleh memohon untuk dana projek-projek pembangunan di kawasan kami ini?. Anehnya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada tahun 2014, Timbalan Perdana Menteri menyatakan sekiranya Barisan Nasional menang dalam PRK itu, setiap Ahli Parlimen BN akan diberikan RM5 juta walaupun ia berlaku empat tahun yang lepas. Saya ingin beritahu apabila seorang Menteri membuat janji seperti ini menabur janji RM5 juta akan diberikan, RM7 juta akan diberikan di mana datangnya wang tersebut? Adakah MACC mengambil tindakan untuk bertanya kepada Menteri tersebut apabila kamu membuat kenyataan seperti ini dalam satu-satu pilihan raya umum atau pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil dari mana akan datang disalurkan peruntukan tersebut. Tuan Yang di-Pertua, saya minta Menteri juga datang ke Dewan yang mulia ini untuk memberi penjelasan di mana datangnya andai kata BN telah menang, mana dia akan dapat RM5 juta ini untuk setiap Ahli Parlimen Barisan Nasional? Tuan Yang di-Pertua, isu seterusnya adalah mengenai satu video viral semalam seorang ibu telah dinafikan peluang untuk beliau masuk mendapat perlindungan dalam Balai Polis apabila disyaki beliau telah diekori sebuah kereta BMW sebelah malam. Beliau dalam keadaan sangat takut, sangat trauma dan stres. Saya berterima kasih kepada pihak polis yang telah mengeluarkan kenyataan media semalam untuk menyatakan bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap pegawai di pondok pengawal yang tidak membenarkan ibu ini masuk ke dalam, namun saya berharap memandangkan isu ini serius dan ia akan set, dengan izin, a precedent untuk contoh wanita single female driver yang dalam keadaan distress ataupun di dalam ketakutan, mereka selalu dinasihati untuk berhenti di mana-mana balai polis yang terdekat untuk mendapatkan sedikit, what do you call it, some protection and a bit of peace of mind.

Jadi saya mohon agar isu ini diteliti, disiasat dan saya minta Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) datang ke Dewan ini untuk memberi jawapan penjelasan, adakah benda ini betul-betul berlaku seperti yang dikatakan oleh ibu tersebut ataupun memang ada penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis dalam kes ini.

Yang Berhormat, minta penjelasan.

Sekejap, saya habiskan dahulu. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan tiga lagi isu secepat mungkin. Isu stalking di negara kita. Pada 25 Julai, Menteri Wanita menyatakan akan ada undang-undang baru di negara kita ini untuk menangani jenayah stalking tetapi sudah masuk beberapa bulan ini saya tidak dengar apa-apa walaupun Menteri kata perlu ada pindaan dalam Kanun Keseksaan untuk memasukkan stalking sebagai satu jenayah dan selepas itu mungkin pindaan kepada Akta Keganasan Rumah tangga supaya kita boleh menjenayahkan, to criminalize stalking. So, saya ingin tahu mengapa begitu lama diambil untuk kajian stalking dibuat, memandangkan ramai wanita atau lelaki menjadi mangsa stalking bukan sahaja in real life dengan izin Tuan Yang di-Pertua tetapi dalam sosial media juga. You know we find disgruntled husbands, angry spouses stalking their divorced couples, divorced spouses even after the divorce has been finalised. Jadi saya mohon memandangkan isu ini sangat-sangat serius, saya mohon Menteri Wanita, mohon Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri dan juga Menteri Kementerian Dalam Negeri mengambil serius meminda Kanun Keseksaan untuk memasukkan stalking dalam akta tersebut dan juga meminda Akta Keganasan Rumah tangga supaya kita boleh lihat this amendment that will protect men and women. Tuan Yang di-Pertua, dua lagi isu...

Dato’ Sri Bung Moktar bin RadinUMNO · BNKinabatangan

Yang Berhormat Batu Kawan boleh sedikit, sekejap sahaja.

After this. Pada 7 Februari yang lalu seorang wanita dari negara China, Her Yoo Ting tiba di Malaysia di atas sebab kerja. Beliau telah pun banyak kali sejak 2015 keluar masuk negara Malaysia di atas urusan perniagaan. Namun selepas dua minggu, keluarga beliau tidak mendengar apa-apa cerita daripada beliau dan handphone beliau tertutup. Selepas dua minggu, keluarga wanita ini di negara China mendapat satu panggilan tidak tahu dari siapa menyatakan anak beliau telah ditahan dalam tahanan imigresen di Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin tanya adakah ini dasar baru imigresen apabila mereka menahan seseorang warga asing atas apa-apa sebab, mereka tidak memaklumkan kepada keluarga di sana. Kita tidak tahu kalau seseorang itu hidup atau mati di negara ini. I think this is according to international convention, sekiranya seseorang itu ditahan atas apa- apa sebab, di mana-mana tahanan imigresen atau polis, Kerajaan Malaysia melalui pihak berkuasa ada moral responsibility untuk memberitahu memaklumkan kepada consulate atau embassy dan juga maklumkan. Biarlah yang ditahan itu mendapat sedikit peluang untuk menghubungi keluarga mereka di negara itu untuk memaklumkan saya telah ditahan di Malaysia di atas sebab-sebab ini, sekian-sekian. So, I think this is a very dangerous precedent if the government is going to behave this way and immigration behave this way. Saya juga ingin membangkitkan pada 22 Januari yang lalu seorang wanita Kristian dari Kerala yang sering kunjung ke Malaysia untuk tujuan agama melawati gereja-gereja di sini pun telah ditahan di KLIA dan tidak dibenarkan meninggalkan lapangan terbang tersebut.

She was put, dengan izin on the first flight back to Kerala with the sole reason that she didn’t have enough money with her. Ini yang telah diberitahu oleh pegawai imigresen kepada wanita ini. So, saya rasa dalam kes wanita Cina ini, it has made news on the South China Morning Post. This is very embarrassing for the country, Tuan Yang di-Pertua. You know we made international news because the Malaysian Government doesn’t handle this kind of issues in a more sensitive manner.

Jadi saya mohon, adakah ini polisi baru, dasar baru oleh kerajaan particularly immigration, when they don’t inform their families, or is there a new rule on religious leaders. Non-muslim religious leaders, priests from the Sikh denomination from Punjab are having difficulty coming into the country. Kita lihat pastor-pastor dari India juga menghadapi masalah untuk masuk negara kita ini untuk tujuan-tujuan agama. Jangan kita lupa Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama untuk semua di negara kita ini. Tuan Yang di-Pertua, one last point isu SJK(T) Sungai Bakap di kawasan saya. Sejak tahun 2011 permohonan telah dimasukkan oleh PIBG sekolah tersebut untuk sebuah sekolah baru. Saya telah membangkitkan isu ini 14 kali dalam Dewan Rakyat, setiap sidang Parlimen termasuklah kali ini. Sebanyak 14 kali untuk satu sekolah dibina, takkan lah Kementerian Pendidikan tidak berhati perut langsung untuk melihat keadaan sekolah yang daif dan uzur sekarang. Sekolah tersebut genap 70 tahun, tahun ini Tuan Yang di-Pertua. It’s 70 years old built in 1948 and yet, selepas ditukar plot tanah untuk membina sekolah yang baru tahun 2018 masih lagi belum dimulakan pembinaan. Saya ingin Yang Berhormat Menteri datang ke Dewan yang mulia ini sekali lagi untuk menjawab soalan ini bukan saja untuk saya, tetapi kepada ibu bapa kanak-kanak yang belajar di sekolah ini. Saya rasa adalah tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk memberi satu kepastian bila sekolah ini akan mula dibina memandangkan peruntukan sudah pun diberi, tanah sudah pun diluluskan. Hanya tinggal untuk melantik kontraktor dan memulakan kerja. Dengan ini Tuan Yang di-Pertua, akhir kata saya ingin mengingatkan kepada anak- anak muda di sana sesiapa yang belum lagi daftar mengundi sila daftar mengundi. Kita tidak tahu bila pilihan raya akan menjelang tiba dan untuk kita bersama-sama selamatkan Malaysia, kita perlu mengundi Pakatan Harapan. Sekian, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Tanah Merah.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim, dan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terlebih dahulu saya merafak sembah ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parlimen Ketiga Belas pada 5 Mac yang lalu. Tuan Yang di-Pertua, titah ucapan Seri Paduka sarat dengan pandangan dan teguran yang pastinya akan memberi manfaat kepada kita semua untuk memastikan negara kita yang tercinta ini mencapai kemajuan dan kemakmuran demi kesejahteraan penduduknya. Pada kesempatan ini saya ingin menyentuh beberapa isu dan perkara yang dititah oleh Seri Paduka. Tuan Yang di-Pertua, menyentuh ekonomi negara saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, apabila dana kewangan antarabangsa IMF menyatakan Malaysia berada di landasan tepat bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi selaras prestasi kukuh dengan pertumbuhan tinggi pada tahun 2017 dan tahun 2018. Menurut IMF, pada tahun 2017 pertumbuhan adalah lebih tinggi daripada yang dijangka iaitu 5.8 peratus dan pada tahun 2018 pertumbuhan juga dijangka melebihi daripada yang dijangkakan pada 5.3 peratus. Kenyataan ini sekali gus membuktikan kenyataan bahawa negara ini berada dalam kedudukan bankrap seperti mana yang disebarkan oleh parti-parti pembangkang adalah fitnah semata-mata. Tuan Yang di-Pertua, berkaitan soal rakyat saya percaya kerajaan akan meningkatkan usaha bagi menangani kos sara hidup yang kini dijadikan modal oleh parti- parti pembangkang untuk mempengaruhi rakyat.

Dalam soal ini saya berharap Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang ditubuhkan baru-baru ini akan mampu menangani masalah ini sebaik-baiknya. Tumpuan bukan saja perlu diberikan kepada penduduk di bandar tetapi juga di luar bandar. Satu pelan tindakan yang komprehensif perlu dilakukan bagi mengurangkan beban rakyat dan ini termasuklah memantau tindakan pihak-pihak tertentu yang sengaja menaikkan harga barangan sesuka hati bagi menimbulkan kemarahan rakyat pada kerajaan terutama dalam menghadapi PRU yang ke-14. Dalam soal ini saya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk lebih agresif menggerakkan pasukan penguatkuasaannya untuk memastikan tindakan tegas diambil ke atas peniaga-peniaga yang tamak. Dalam pada masa yang sama saya juga berharap dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan khususnya Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Perumahan Awam 1Malaysia penekanan perlu diberi kepada aspek kualiti. Ini kerana sementara kerajaan berusaha menyediakan sebanyak mungkin rumah mampu milik ketika Pakatan Harapan baru di peringkat berjanji, peringatan dalam aspek itu perlu dilakukan. Kontraktor-kontraktor yang gagal menyiapkan rumah ini dengan mengorbankan kualiti perlu dikenakan tindakan termasuklah disenaraihitamkan daripada melaksanakan projek-projek kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, perkara lain yang menarik perhatian saya ialah titah Seri Paduka yang menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial. Pada pandangan saya, sokongan itu amat tepat ketika kita kini semakin lemas dalam lautan berita palsu dan semakin hanyut dalam gelombang fitnah yang sama ada kita mahu mengakui atau tidak akibat keghairahan kelompok tertentu mahu meraih sokongan politik menjelang Pilihanraya Umum Ke-14. Oleh itu saya menggesa kerajaan untuk mempercepatkan penggubalan undang- undang tersebut yang saya anggap amat penting bagi memastikan memasuki pertempuran dalam PRU Ke-14. Rakyat tidak diracuni fikiran mereka oleh berita-berita palsu khususnya daripada parti-parti pembangkang. Jangan kita lupa pada PRU Ke-13, parti-parti pembangkang menuduh Barisan Nasional membawa masuk ribuan warga Bangladesh bagi mengundi untuk itu. Akan tetapi akhirnya sehingga pilihan raya tamat tidak seorang pun warga Bangladesh yang ditampilkan bagi menyokong dakwaan berkenaan. Malah kita juga jangan lupa berhubung kebiadaban dan perhubungan serta fitnah yang dilakukan cyber trooper, Red Bean Army yang kita tahu siapa di belakangnya sehingga memungkinkan tercetus tsunami dalam kalangan pengundi Cina menolak Barisan Nasional dalam PRU tersebut. Saya percaya dan yakin parti-parti pembangkang akan terus menggunakan taktik kotor dalam keghairahan mereka untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional dalam PRU Ke–14. Justeru itu sementara menanti penggubalan undang-undang mengenai berita palsu dilaksanakan saya mencadangkan kerajaan mempertingkatkan pemantauan dan tindakan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menangani gejala tersebut. Tuan Yang di-Pertua, berita palsu adalah virus yang jika dibiarkan boleh memusnahkan negara. Dalam keadaan terdesak dan muflis, modal politik untuk menang pilihan raya tidak mustahil taktik jahat dan tidak bertanggungjawab akan digunakan. Atas sebab itulah saya merasa hairan apabila ada dalam kalangan rakan-rakan pembangkang yang bagaikan cacing kepanasan apabila kerajaan mengumumkan mahu menggubal undang-undang perkara itu. Ada kalangan mereka menganggap penggubalan undang-undang itu bertujuan menghalang kebebasan bersuara dan menentangnya. Akan tetapi dalam masa yang sama mereka mendakwa turut menjadi mangsa berita palsu, inilah yang saya hairan. Kalau betul menjadi mangsa, maka langkah kerajaan untuk menggubal undang-undang tersebut perlu disokong bukannya ditentang. Saya tertanya-tanya, adakah penentangan terhadap penggubalan undang-undang itu akan menyebabkan parti-parti pembangkang kehilangan salah satu senjata mereka untuk memenangi pilihan raya. Saya bukanlah menuduh tetapi sekadar bertanya, kalau tidak ada apa-apa agenda yang tersembunyi parti-parti pembangkang, khususnya dalam kalangan mereka yang beragama Islam perlu menyokong penuh penggubalan undang-undang ini.

Tuan Yang di-Pertua, dalam usaha memastikan penyebaran berita palsu dapat dihalang, saya berpendapat sudah tiba masanya satu pasukan pemantauan khas ditubuhkan dengan menggabungkan pelbagai agensi penguat kuasa dan agensi kerajaan. Pasukan pemantauan ini selain disertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, ia juga perlu disertai PDRM dan Jabatan Peguam Negara. Ia bagi membolehkan apa juga tindakan bagi memerangi berita palsu ini dapat dilaksanakan secara berkesan dan jitu bukan secara berasingan. Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan supaya pasukan pemantauan khas tersebut diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara. Perubahan ini mencontohi...

Yang Berhormat.

Kewujudan pasukan penguatkuasaan, brother, last sekali macam Yang Berhormat Batu Kawan. Pasukan penubuhan ini mencontohi kewujudan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara yang ternyata berjaya mengatasi perbuatan ketirisan hasil negara. Oleh itu saya percaya, jika pasukan khas seumpama itu diwujudkan bagi memerangi berita palsu sudah pasti ia akan membawa kejayaan seperti mana NRRET. Tuan Yang di-Pertua- nak tanya? Okey lah bolehlah.

Boleh ya?

Sahabat ini.

Terima kasih Yang Berhormat Tanah Merah. Tuan Yang di-Pertua?

Tuan Yang di-Pertua

Sila.

Terima kasih. Ini berkenaan dengan aduan wanita yang tidak dibenarkan masuk ke dalam balai polis. Saya baca keterangan daripada Ketua Polis Negara, saya hormati kenyataan akhbar beliau. Akan tetapi ada satu perkataan di dalam kenyataan itu yang mengatakan pihak polis juga meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada pihak polis.

Akan tetapi untuk pengetahuan Yang Berhormat dan juga Dewan yang mulia ini, video yang di uar-uarkan dalam Facebook dan sebagainya itu mempunyai kesahihan dan sumber yang tepat sebab ia datang daripada pengadu itu sendiri. Saya boleh panjangkan kepada Yang Berhormat. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, saya sendiri menjadi mangsa situasi yang sama di Parlimen Kapar. Saya tidak hendak namakan balai polis tersebut sebab ia- saya tidak hendak sebab setitik nila, rosak susu sebelanga. Di mana, saya bila sampai ke balai polis lebih kurang 8.00 malam, saya dihalang dan tidak dibenarkan masuk. Saya memberi kad saya sebagai Ahli Parlimen, orang yang menjaga pondok polis itu mengatakan bahawa dia tidak kenal saya dan dia tidak boleh benarkan saya masuk. Oleh sebab perkara ini real sedang berlaku, saya minta kerajaan memberi perhatian khusus, khususnya anggota polis yang bekerja di pondok polis yang tidak tahu yang tentang aspek-aspek tertentu. Terima kasih Yang Berhormat.

Okey, terima kasih Yang Berhormat Kapar. Saya juga turut prihatin apa yang dialami oleh Yang Berhormat Kapar. Saya mintalah pihak berkuasa untuk menyiasat apa yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kapar. Tuan Yang di-Pertua, berita palsu amat bahaya kepada negara. Ia boleh menghancurkan negara kita dalam segala aspek sama ada politik, ekonomi mahupun sosial. Dalam soal ekonomi contohnya, negara ini diuarkan-uarkan sebagai bankrap tetapi petunjuk ekonomi negara menunjukkan sebaliknya.

Malah, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini menyatakan ekonomi Malaysia adalah kukuh dan berdaya tahan. Akan tetapi, lihat apa yang dilakukan oleh parti- parti pembangkang. Mereka sanggup menyebarkan berita palsu dan melakukan fitnah berhubung situasi ekonomi negara. Semua ini semata-mata bertujuan memburuk-burukkan kepimpinan negara yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak. Oleh itu, saya menggesa kerajaan supaya tidak berundur walaupun setapak dalam usaha menggubal undang-undang berkaitan mengekang penyebaran berita palsu. Apa yang dilakukan oleh kerajaan bukanlah bermotif politik tetapi semata-mata demi menjaga keselamatan negara dan keharmonian rakyat negara ini. Ledakan teknologi maklumat dengan terwujudnya pelbagai medium laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya memungkinkan kita untuk bertindak segera bagi mengekang berita palsu. Biarlah puak-puak pembangkang dengan sikap hipokrit mereka yang sentiasa saja mahu melihat apa juga dilakukan oleh kerajaan tidak betul dan mempunyai agenda politik. Sebenarnya, yang sentiasa mempunyai agenda politik dalam tindak tanduk mereka adalah pembangkang, bukannya Kerajaan Barisan Nasional. Tuan Yang di-Pertua, dalam Titah Seri Paduka juga ada menyentuh soal ekonomi dan kehidupan rakyat. Bercakap mengenai soal ini, saya ingin menyatakan tiada bezanya antara berita palsu dengan tindakan memberi harapan palsu seperti mana terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan di Shah Alam baru-baru ini. Saya bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak bahawa manifesto itu hanya umpan bagi memancing rakyat walaupun ia sukar dilaksanakan. Ia ibarat janji-janji manis yang dihidangkan dalam cawan beracun.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Hendak tanya Yang Berhormat Tanah Merah.

Kalaulah manifesto itu begitu hebat...

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Sekarang sudah ada undang-undang di mana boleh ambil tindakan, bukan? Kenapa tidak ambil tindakan jikalau...

...Sudah pasti ia sudah dilaksanakan terlebih dahulu di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka, contohnya di Pulau Pinang dan Selangor sebelum ia dilaksanakan di peringkat nasional.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Takut kerana tidak benar.

Boleh dikatakan hampir kesemua janji dalam manifesto tersebut sukar dilaksanakan, termasuklah soal menghapuskan GST. Ini kerana tindakan tersebut akan memberi implikasi kewangan yang serius kepada negara. Apa yang melucukan dalam manifesto tersebut, BR1M yang sebelum ini dianggap rasuah dan dedak turut dikekalkan dengan istilah berbeza sahaja. Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang manifesto harapan palsu yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan kerana saya yakin rakyat akan mampu menilai sama ada ia satu realiti ataupun satu ilusi. Okey, menyentuh permasalahan kawasan saya, Tanah Merah kerana masa juga begitu cemburu. Di Hospital Tanah Merah, Tuan Yang di-Pertua, Hospital Tanah Merah telah berlaku kerosakan di lif bangunan tiga tingkat. Lif ini sudah berusia 12 tahun dan sering rosak. Permohonan baiki sudah dibuat sejak tahun 2013. Ia melibatkan pesakit di wad bersalin dan wad perempuan. Kerosakan ini menyebabkan hospital tidak dapat menerima kemasukan pesakit perempuan yang akan bersalin dan pesakit yang ada terpaksa dipindahkan ke hospital lain. Malah, pembedahan juga terpaksa ditunda, khususnya yang melibatkan pesakit perempuan. Saya juga ingin tahu kedudukan status permohonan mesin X-ray statik. Di Tanah Merah ini daerah yang besar, penduduk yang ramai, hanya mempunyai satu saja mesin X- ray statik di seluruh Daerah Tanah Merah. Mesin yang sudah ada ini sudah usianya 10 tahun. Permohonan untuk tambah X-ray ini telah diluluskan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri masa beliau datang melawat ke Tanah Merah pada bulan Februari 2017. Jadi, saya harap status- hendak tahu status. Kelulusan pun telah diberi. Jadi, dapatlah disegerakan kerana ini adalah untuk rakyat juga. Terima kasih.

Oleh itu, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menggulung perbahasan ini dengan menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan terus memacu negara ke arah kejayaan dalam semua aspek. Pada masa yang sama, saya berharap semua pihak lebih bertanggungjawab dalam mencari sokongan politik. Janganlah dikorbankan kemakmuran negara ini dengan agenda politik sempit melalui pendekatan meracuni fikiran rakyat melalui berita palsu, fitnah dan tohmahan. Kalaupun mahu menang pilihan raya, lakukanlah secara berhemah dan matang. Bukannya dengan membuat pusingan U dan melakukan tindakan politik berlandaskan matlamat menghalalkan cara. Sekian, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Yang Berhormat Pandan.

Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Salam sejahtera. Yang dihormati Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Dewan yang mulia. Ini adalah ucapan saya yang terakhir di dalam Dewan ini, Tuan Yang di-Pertua, memandangkan saya tidak akan bertanding di dalam pilihan raya umum yang akan datang. Jadi, saya akan bermula dengan mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Yang di-Pertua dan kepada Dato’ Seri-Dato’ Seri Timbalan-timbalan Yang di-Pertua yang selalu memberi ruang dan pertimbangan yang sebaiknya kepada saya untuk berhujah. Saya berdoa Dewan ini akan lebih dimuliakan dalam masa-masa yang akan datang. Saya juga ingin meminta maaf sekiranya kritikan saya yang pedas kepada pihak kerajaan selama lima tahun yang lepas di dalam Dewan yang mulia ini ada yang melukakan hati Ahli-ahli Dewan di sebelah sana. Saya tidak pernah ada perasaan benci, malah saya cukup senang juga dengan kawan-kawan dan sahabat-sahabat daripada sebelah sana yang turut bertukar-tukar kritikan. Yang Berhormat Kinabatangan tidak ada hari ini, Yang Berhormat Lenggong pun tidak ada, Yang Berhormat Tenggara, malah walaupun Yang Berhormat Tanjong Karang selalu juga mengkritik saya dengan keras, kami sebenarnya baik di luar. Tuan Yang di-Pertua, kritikan saya adalah atas amanah yang kita pikul dan sebagai wakil rakyat dan Ahli Parlimen, kita makan gaji dengan rakyat dalam keadaan mereka terpaksa menanggung beban yang berat. Tanggungjawab Ahli-ahli Dewan Rakyat pembangkang ialah memastikan bahawa kerajaan memegang amanah dengan sebaik- baiknya yang telah diberikan oleh rakyat. Oleh sebab itu, saya tidak boleh terus lari dari membawa beberapa perkara yang sangat rapat dengan rakyat, apatah lagi dalam ucapan yang terakhir ini, walaupun saya bersimpati dengan beban dan serangan yang terpaksa ditanggung oleh Yang Amat Berhormat Pekan. Itu tidak akan mengurangkan teguran saya pada beliau walaupun ini ucapan yang terakhir kerana kerajaan masih lagi terpaksa berhadapan dengan rakyat yang semakin tertekan, terutamanya akibat harga barang yang semakin tinggi. Dewan yang mulia, saya ingin ingatkan bahawa semasa Yang Amat Berhormat Pekan mula-mula menjadi Perdana Menteri dahulu, Yang Amat Berhormat Pekan mengisytiharkan perang terhadap subsidi. Pentadbiran beliau dalam tahun 2009 dan 2010 gah menjanjikan penghapusan subsidi untuk melunakkan kritikan-kritikan dan kebimbangan pelabur antarabangsa yang pada ketika itu bimbang dengan kadar hutang dan juga jumlah defisit belanjawan negara yang berpanjangan dan meruncing. Saya faham keperluan mana-mana kerajaan, Yang Berhormat Menteri Kewangan dan Perdana Menteri yang perlu menjaga penarafan hutang kita, dengan izin Tuan Yang di- Pertua, sovereign rating kerana penarafan hutang itu akan mempengaruhi kadar faedah yang akan dibayar oleh kerajaan ke atas hutang yang telah diambil dan hutang yang bakal diambil oleh kerajaan. Akan tetapi, kegilaan pentadbiran Yang Amat Berhormat Pekan menjaga penarafan hutang negara dengan mengambil jalan memotong subsidi yang kesannya akhirnya menekan rakyat agar itu membolehkan kerajaan berhutang dengan lebih banyak, itu adalah satu tindakan yang sangat-sangat tidak bertanggungjawab.

Saya ingin mengingatkan Dewan yang mulia, dalam tempoh enam tahun Yang Amat Berhormat Pekan menjadi Perdana Menteri, beliau telah menghapuskan subsidi makanan asas atau merubahnya baik beras, baik gandum, baik gula, baik minyak masak. Yang Amat Berhormat Pekan juga telah menaikkan kadar elektrik. Yang Amat Berhormat Pekan dalam tempoh enam tahun yang lalu menjadi Perdana Menteri yang pertama yang menghapuskan subsidi minyak dalam sejarah negara kita. Yang Amat Berhormat Pekan juga telah mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang pertama yang memperkenalkan GST. Tindakan-tindakan seperti inilah sebenarnya yang telah menyebabkan harga barang naik melambung. Bukan berita palsu, bukan salah peniaga Cina, bukan sebab peniaga- peniaga yang mengambil kesempatan. Ia adalah disebabkan tindakan bersiri oleh pentadbiran Yang Amat Berhormat Pekan yang menghapuskan subsidi satu demi satu. Kemudiannya memperkenalkan pula GST dalam tempoh yang sama. Itu terus menjadi beban kepada rakyat sehingga hari ini.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Yang Berhormat Pandan, minta sedikit.

Ya, Yang Berhormat Tasek Gelugor, boleh sekejap.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Saya cuma hendak minta penjelasan Yang Berhormat Pandan. Yang Berhormat Pandan ada menyebutkan tentang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melupuskan subsidi bersiri dan sebagainya. Akan tetapi Yang Berhormat Pandan setuju kah bahawa itu adalah merupakan satu tindakan untuk penyelarasan ekonomi negara yang berlaku? Kemudian yang kedua, setuju kah Yang Berhormat Pandan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah memperkenalkan pelbagai kaedah, skim yang terbaru dan bersifat semasa untuk membantu rakyat macam BR1M dan sebagainya? Jadi perlu ulasan daripada Yang Berhormat Pandan.

Terima kasih Yang Berhormat Tasek Gelugor. Semasa Yang Amat Berhormat Pekan mengumumkan ingin menghapuskan subsidi, ia diberi alasan sebagai ini satu keperluan untuk menyelaraskan bantuan kepada rakyat. Sebaliknya yang berlaku, Yang Berhormat Tasek Gelugor, ialah dengan memotong subsidi itu telah memberi peruntukan yang lebih yang sebahagian besarnya diheret ke dalam peruntukan Yang Amat Berhormat Pekan. Kemudian peruntukan yang lain yang dilebihkan hasil pemotongan subsidi itu ialah untuk dibazirkan di dalam projek-projek besar dan penanggungan hutang-hutang besar yang semua kita tahu salah satunya ialah 1MDB. Oleh sebab itu, ia bukan soal melaraskan soal subsidi dan memperkenalkan cara- cara baru untuk memberikan bantuan kepada rakyat. Itu tidak dipersoalkan. Kita perlu ambil gambaran menyeluruh bagaimana subsidi yang dipotong untuk mengheret peruntukan- peruntukan yang dahulunya diberikan terus kepada rakyat kemudian ini disimpan oleh Perbendaharaan untuk membayar projek-projek dan hutang-hutang yang membazir yang tidak ada kesan kepada rakyat. Kalau subsidi itu dipotong tetapi bantuan terus kepada rakyat itu berjaya mengurangkan bebanan rakyat, tidak menyebabkan kenaikan harga barang, saya tidak rasa kita ada berdebat di dalam Dewan pada hari ini mengenai soal subsidi. Masalahnya yang ada pada kertas itu hanya cantik di kertas. Apa yang dilaksanakan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung. Tuan Yang di-Pertua, saya perlu teruskan kerana hanya ada 12 minit lagi. Jadi saya hendak sambung juga ucapan saya dengan menjawab terus juga Yang Berhormat Tasek Gelugor tadi. Hanya 10 tahun lepas, hampir 10 tahun Yang Amat Berhormat Pekan mengisytiharkan perang ke atas subsidi, kini pentadbiran Yang Amat Berhormat Pekan juga yang tergila-gila dan galak mengaku mereka yang paling banyak bagi subsidi. Dahulu dia kata subsidi teruk, sekarang dia mengaku yang ini subsidi, yang itu subsidi, yang ini subsidi. Apa lagi kamu nak? Ditanya kepada rakyat. Dana rakyat yang sudah pun sedikit kalau kita perhatikan sekarang, kini dibazirkan pula untuk menghasilkan iklan- iklan mahal dalam media untuk menunjukkan bagaimana pentadbiran Yang Amat Berhormat Pekan sebenarnya banyak bagi subsidi.

Kalau tengok TV, ada sahaja anak orang sakit masuk hospital hendak bayar tidak ada wang, kemudian doktor beritahu sebenarnya yang lain semua kerajaan sudah bayar, kamu bayar RM300 sahaja. Sekarang pentadbiran Yang Amat Berhormat Pekan juga yang galak mengaku dan menjulang-julang subsidi. Sedangkan pada awal pentadbiran beliau, dia juga yang mengisytiharkan perang terhadap subsidi. Kegilaan terbaru pentadbiran Yang Amat Berhormat Pekan dan Ahli-ahli Dewan yang ada terbabit sama dalam kegilaan ini ialah menganjurkan karnival jualan murah di kerusi-kerusi Parlimen yang Barisan Nasional rasa akan kalah. Jadi, ada yang jual beras murah, ikan murah. Kalau di Selangor ada yang bagi ikan percuma. Akan tetapi saya dimaklumkan, dia ambil ikan daripada pembekal, dia tidak bayar hutang pembekal.

Dahsyat.

Dahulu Yang Amat Berhormat Pekan dan kawan-kawan daripada seberang sana mencemuh subsidi. Sekarang ini mereka juga yang berlumba-lumba cuba hendak tunjukkan dia juga bagi subsidi. Dahulu katanya subsidi ini buruk dan hanya menguntungkan orang-orang kaya sahaja. Sekarang ini ada sahabat- sahabat dari seberang sana yang buat kempen cuba bagi petrol percuma untuk menang pilihan raya. Tuan Yang di-Pertua, saya berpandangan terbuka. Saya sebenarnya menggalakkan semua Menteri, semua Ahli Dewan, wakil rakyat dalam tempoh enam minggu sebelum pilihan raya ini bagilah beras, bagi gula, bagi garam, bagi sayur, bagi ikan, bagi minyak percuma untuk menang dekat-dekat pilihan raya. Tidak apa, kerana yang akan bagus menerimanya ialah rakyat. Cuma saya hendak bagi amaran, pakai duit sendiri, jangan pakai duit peruntukan kementerian dan jabatan-jabatan... [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, saya hendak kembali kepada isu pokok iaitu pentadbiran ekonomi di bawah Yang Amat Berhormat Pekan. Semua yang saya sebut tadi walaupun saya bersyukur— sekarang ini satu Dewan menerima bahawa subsidi itu penting. Ia bukan jahat. Subsidi ini menguntungkan rakyat biasa. Tetapi memberi ikan percuma, bagi minyak percuma seminggu, dua minggu sebelum pilihan raya tidak akan menyelesaikan masalah pokok ekonomi negara kita yang di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Pekan telah menjerumuskan kita ke dalam keadaan sekarang. Punca kepada defisit, keberhutangan yang terlalu tinggi sehingga Perbendaharaan terpaksa memotong subsidi dan peruntukan-peruntukan rakyat, salah bukannya subsidi. Puncanya adalah ketirisan, puncanya ialah salah urus tadbir kewangan negara dan yang paling penting puncanya ialah penyelewengan dan pencurian harta rakyat. Oleh sebab itu Yang Amat Berhormat Pekan perlu ambil tanggungjawab atas semua masalah ini kerana sehingga sekarang 1MDB di bawah Yang Amat Berhormat Pekan masih secara perlahan-lahan dan diam-diam memindahkan hutang wang 1MDB kepada rakyat di belakang pengetahuan Dewan yang mulia ini. Saya telah sebut minggu lalu, Tuan Yang di-Pertua, bagaimana Yang Amat Berhormat Pekan sendiri mengakui di dalam jawapan Parlimennya bahawa Kerajaan Persekutuan telah membeli semula tanah di Tun Razak Exchange yang sebelum ini diumumkan oleh 1MDB telah dijual kepada Mulia Group daripada Indonesia. Saya ingin ingatkan Dewan, 1MDB dahulu dapat tanah di Tun Razak Exchange di Jalan Tun Razak ini pada harga yang cukup murah daripada Kerajaan Persekutuan. Apabila hutangnya terlalu tinggi dan terdesak, kemudian 1MDB menjualnya pula kepada Mulia Group daripada Indonesia dan telah diberikan diskaun yang sangat tinggi daripada harga yang diumumkan sebenarnya. Umum jual pada harga RM665 juta. Dua tahun kemudian, saya semak penyata kewangan yang diaudit, sebenarnya yang dijual dan dibayar oleh Indonesia kepada 1MDB hanyalah RM403 juta. Itu diskaun lebih kurang 30 peratus, 40 peratus daripada harga yang diumumkan. Dua tahun kemudian, selepas pengumuman penjualan tanah kepada Indonesia- jual tanah kerajaan kepada Indonesia kerana hendak ambil wang untuk bayar hutang 1MDB. Dua tahun selepas itu, Kerajaan Malaysia mengaku di dalam jawapan Parlimen bahawa Kerajaan Malaysia telah membeli balik 51 peratus pegangan di dalam pembangunan menara yang 106 tingkat itu yang pada kiraan saya harga RM2 bilion yang dibayar bagi pegangan 51 peratus itu adalah bersamaan dengan premium 12 peratus lebih mahal daripada harga yang sepatutnya ataupun lebih kurang RM215 juta, bagi lagi kepada Indonesia.

Diskaun bagi RM200 juta lebih. Beli balik, bayar lagi lebih mahal RM215 juta daripada harga yang sepatutnya. Kalau bayar daripada poket dia, Yang Berhormat Pekan saya tidak kisah. Bayarnya ini dengan cara Kerajaan Persekutuan berhutang dengan HSBC untuk membayar RM2 bilion ini dan cara berhutang itu ialah Kerajaan Persekutuan menggadaikan keseluruhan kepentingan di dalam pembangunan menara itu kepada HSBC. Jadi maknanya apa dia? Dewan yang mulia, saya hendak ingatkan macam mana perjalanan tanah itu yang asalnya adalah tanah kerajaan, milik rakyat. Kemudian bagi kepada 1MDB pada harga yang murah. Kemudian 1MDB berhutang. Tidak boleh bayar, dia jual kepada Indonesia pada harga yang murah dan ia berakhir dengan kerajaan Malaysia pinjam wang, beli balik pada harga yang lebih mahal. Tanah yang asalnya milik rakyat. Kini tanah yang mahal itu sudah pun digadaikan kepada bank antarabangsa, HSBC. Dalam lima minit yang terakhir ini, Tuan yang di-Pertua. Saya hendak beralih pula daripada tanah di Tun Razak Exchange, Jalan Tun Razak, keadaan yang sama juga, Tuan Yang di-Pertua, akan berlaku kepada tanah Felda di Jalan Semarak yang sekarang ini dibangunkan sebagai Vertical City Kuala Lumpur. Minggu ini Yang Berhormat Johor Bahru, Yang Berhormat Muar telah mengumumkan, telah mendapat kembali hak milik tanah-tanah ini. Saya ucap tahniah. Akan tetapi mereka tidak sebut perkara yang sebenar. Ada lagi masalah dan bahaya besar yang menunggu selepas itu. Saya tanya soalan di dalam Parlimen dan dijawab oleh Yang Berhormat Muar. Yang Berhormat Muar mengesahkan bahawa keseluruhan tanggungan kewangan itu perlu diusahakan oleh pemaju. FELDA setakat ini tidak mengumumkan kepada rakyat bahawa projek itu, jika tanah itu tidak digadai kepada bank untuk mendapatkan pembiayaan, keseluruhan projek itu akan tersadai dan terbengkalai. Oleh sebab itu kalau projek itu tergadai atau tersadai, terbengkalai, FELDA tidak akan dapat hatta satu sen pun daripada tanah itu kerana perjanjian di antara FELDA dengan pemaju ialah pemaju mesti bayar RM500 juta kepada FELDA. Masalahnya pemaju dalam akaun hanya ada RM100 juta. Itu pun bukan duit dia. Duit bank. Macam mana dia hendak bayar RM500 juta kepada FELDA dan membiayai projek yang bernilai berbilion-bilion ringgit ini dalam keadaan dia tidak ada wang. Jadi apa yang akan berlaku ialah tanah ini perlu digadaikan balik kepada bank seperti mana Kerajaan Persekutuan membeli dan menggadaikan balik tanah di Tun Razak Exchange. Maka yang akan berlaku ialah selepas beberapa bulan pilihan raya umum ke-14 ini, kalau Yang Amat Berhormat Pekan kembali menjadi Perdana Menteri, saya cukup yakin kerajaan Persekutuan secara senyap-senyap akan menggadaikan tanah-tanah ini kepada bank supaya bank memberi wang dan wang ini lah yang akhirnya akan digunakan untuk menyiapkannya dan yang akan dapat durian runtuh itu...

[Bangun]

Nanti sekejap, bagi saya habiskan ayat ini- Yang akan mendapat durian runtuh adalah pemaju yang telah menjaga dengan baik beberapa orang yang kepentingan di dalam FELDA dan kerajaan. Ya, Yang Berhormat Bintulu. Saya ada dua minit. Saya kena cepat Yang Berhormat Bintulu. Kong kali kong pun kena cepat.

Sekali kala boleh cepat. Sekali sekala mana boleh cepat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saudara Yang Berhormat Pandan. Tadi saya tertarik, dua saya dengar, subsidi punya cerita. Saya mahu tanya sama...

[Dewan riuh]

Ya saya tahu limpas. Saya pun baru masuk. Tadi pun saya mahu tanya lain. Tunggu dia habis. Yang Berhormat Batu, apa lu mahu bising. Saya mahu tanya saja pandangan dia macam mana. Macam minyak punya subsidi. Kita ada perasan atau tidak. Kita kerja dulu ada bagi banyak subsidi, minyak itu semua. Contoh macam di Sarawak. Hari-hari tiada diesel. Tidak tahu itu diesel itu hantu hisap habis. Habis. Nelayan punya bot pun pergi, kali kali pergi laut, balik kosong. Akan tetapi diesel habis. Kita tukar cara. Tarik balik subsidi, lepas itu kita ganti balik lain. Bagi sama rakyat, contoh itu GST. Kita ada tolong naik turun padang kempen sama rakyat tidak. Minta dia orang harga mesti mahu tolak SST, sama sales tax semua, baru kali balik itu GST.

Akan tetapi sekarang masalah penjualan semua, orang meniaga semua dari atas itu semua sudah kena SST sales tax. Satu kali lagi dia kali GST. Baru lah barang-barangan semua mahal. Ini lah saya bagi tahu, tanya pandangan dan saya minta Yang Berhormat Pandan sudah begitu banyak sembang, belajarlah. Kita jangan huru-hara, guna ini platform cari publisiti. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih Yang Berhormat Bintulu. Tuan yang di-Pertua, oleh sebab Yang Berhormat Bintulu kong kali kong ambil dua minit tanya soalan. Saya akan terlajak lebih sedikit untuk jawab. Sikit saja ya. Soalan yang diberikan oleh yang Berhormat Bintulu itu ialah mengenai bagaimana subsidi dan lain-lain. Saya cuba memahami sebenarnya, saya tidak faham soalan dia. Sampai ke sudah. Akan tetapi tidak apa.

Ini lah Yang Berhormat Pandan, kamu memang kong kali kong. Sebagai orang hebat, you cakap tidak faham. Orang tepi jalan pun faham lah.

Saya faham begini ya. Saya faham apa yang cuba disebut oleh Yang Berhormat Bintulu tadi ialah kerajaan telah bagi banyak subsidi dan lain-lain. Saya rasa kita kena kembali kepada kemampuan kerajaan melihatkan kepada sumber yang ada dan juga tekanan yang dihadapi oleh rakyat. Dalam keadaan yang sempurna, Tuan Yang di-Pertua, saya percaya ada beberapa jalan yang kerajaan boleh mengalihkan bantuan kepada orang itu, kepada orang ini dengan cara yang berbeza-beza. Akan tetapi keadaannya sekarang apabila subsidi dipotong, harga minyak dinaikkan dan GST dikenakan hampir sekali gus. Itu yang menyebabkan harga barang naik melonjak pada kala gaji itu tidak naik sangat. Jadi saya bagi contoh dari segi kemampuan, Yang Berhormat Bintulu ya. Kerajaan sebenarnya pada anggaran saya mendapat sekitar RM10 bilion wang tambahan tiap-tiap tahun bagi tahun 2017 ini kerana harga minyak yang diperuntukkan di dalam belanjawan adalah sangat rendah. Kita peruntukkan dalam USD50 seingat saya. Akan tetapi harga purata bagi tahun 2017 ialah USD63. Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua sendiri mengakui bahawa bagi setiap kenaikan USD1 harga minyak mentah dunia itu, akan mendatangkan hasil RM1 bilion lebih kurang kepada kerajaan satu tahun. Jadi kalau kita sudah ada RM10 bilion tambahan tahun lepas, yang kita berdebat ini Yang Berhormat Bintulu. Sementara saya faham pandangan Yang Berhormat Bintulu itu ialah bukan kah lebih baik untuk diambil sedikit diberikan kepada rakyat untuk diturunkan harga barang dan harga minyak dalam keadaan yang terdesak ini. Jadi saya hendak tutup, Tuan yang di-Pertua. Berbalik kepada soalan yang saya sebut tadi mengenai tanah FELDA, tanah 1MDB. Kita sebenarnya kembali kepada masalah yang sama iaitu kita bermula dengan tanah dan harta kerajaan milik rakyat. Kemudian tanah milik rakyat yang miskin itu akhirnya tergadai di bank sebagai pertukaran kepada pegangan di dalam menara-menara besar. Kondominium-kondominium mewah yang saya yakin orang- orang miskin daripada FELDA dan dari kampung-kampung ini tidak akan menjejakkan kaki. Jadi maknanya kalau ini cara pengurusannya, yang akan rugi secara berterusan ialah rakyat kita. Jadi saya ingin tutup Dewan ini, bukan tutup Dewan, Tuan Yang di-Pertua, tutup ucapan saya di Dewan ini dengan memberi peringatan kepada saya dan kepada semua sahabat-sahabat di seberang sana dan sini bahawa kita bakal dihakimi di dunia dan di akhirat. Oleh sebab itu saya mendoakan semua yang ada di dalam dewan, Tuan Yang di-Pertua, dan terutamanya Yang Amat Berhormat Pekan supaya Allah beri ketenangan dan dibuka hati kita untuk mencari jalan dan membuat keputusan yang terbaik untuk membela mereka yang susah dan miskin di luar kerana mereka lah yang memerlukan pembelaan-pembelaan. Bukannya orang-orang lain. Dengan ucapan itu insya-Allah saya berdoa kita berjumpa balik, Tuan Yang di- Pertua, kalaupun di luar dewan. Saya ucapkan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Tasek Gelugor.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Tuan Yang di-Pertua, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim. Salam negaraku Malaysia. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua sekali lagi kerana memberi peluang dan ruang kepada saya untuk turut sama-sama mengambil bahagian di dalam perbahasan bagi menjunjung Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan penggal Parlimen pada minggu lepas. Tuan Yang di-Pertua, ucapan penghargaan dan terima kasih buat Yang di-Pertua Agong kerana amat prihatin terhadap denyut nadi semua lapisan masyarakat dengan menyentuh pelbagai aspek termasuk sosial dan kebajikan yang sangat dekat di hati rakyat ketika menyampaikan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja. Selain itu, kesungguhan kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak berserta barisan anggota Jemaah Kabinet yang bijaksana haruslah dipuji walaupun mendepani pelbagai cabaran khususnya soal persepsi. Malah jemaah pimpinannya juga telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan jayanya terutamanya perkara yang melibatkan kebajikan kepada rakyat. Tuan Yang di-Pertua, soal persepsi yang dilontarkan oleh pihak pembangkang dalam ekonomi sebagaimana yang kita dengar yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pandan sebentar tadi memang sukar untuk dijelaskan. Namun hakikat sebenar adalah ekonomi negara kini berada pada tahap yang cukup baik dan mengalami pertumbuhan. Rekod Bank Negara Keluaran Dalam Negara Kasar tahun 2017 atau KDNK, kita ulang berkali-kali di dalam Dewan ini supaya kita faham dan kita ingat iaitulah meningkat kepada 5.9 peratus. Disokong permintaan domestik termasuk sektor swasta dan sektor luaran berbanding 4.2 peratus pada tahun 2016. Agensi penarafan Moody’s Investors Service menjangkakan prestasi pertumbuhan KDNK pada tahun 2017 dijangkakan akan diteruskan pada tahun 2018 termasuk dalam jangka sederhana sebanyak 5.2 peratus ditampung oleh pelbagai projek-projek infrastruktur besar yang dapat merangsang pelaburan awam dan swasta. Oleh sebab itulah tadi kalau Yang Berhormat Pandan sebutkan banyak pembangunan-pembangunan dan projek-projek besar. Sebenarnya ia adalah bertujuan untuk merangsang pelaburan awam dan pelaburan swasta. Itu yang cukup penting di dalam perancangan ekonomi. Pembangkang memang pandai menghasut dan meracuni rakyat, apa sahaja yang Kerajaan Barisan Nasional buat semuanya serba tidak kena. Akan tetapi mereka mengaku dan bersetuju bahawa berlakunya pertumbuhan pada ekonomi negara sebagaimana contoh Yang Berhormat Shah Alam pada 6 Mac 2018 tidak pun menafikan berlakunya pertumbuhan pada ekonomi negara. Sebagai langkah mengatasi masalah kos sara hidup kerajaan turut memperkenalkan program seperti Program Jualan Sentuhan Rakyat yang hari ini pihak pembangkang rasa begitu cemburu dan panas hati melihat pelaksanaan Program Jualan Sentuhan Rakyat. Ianya diadakan bagi meningkatkan kuasa beli ataupun purchasing power di dalam kalangan rakyat. Memanglah Program Jualan Sentuhan Rakyat ini dibuat jarang- jarang sekali tetapi ianya dibuat apabila ada keperluan. Sekarang kita ada keperluan, kita semua mendakwa bahawa harga barang naik, rakyat terbeban. Maka kerajaan mengambil langkah yang bersifat semasa dengan menganjurkan Jualan Sentuhan Rakyat. Kalau Jualan Sentuhan Rakyat ini tidak baik, tidak mendatangkan faedah kepada rakyat, kenapa setiap kali anjuran ini dibuat ribuan rakyat dalam setiap kawasan yang berkenaan akan datang berpusu-pusu mengambil peluang untuk mendapatkan barangan- barangan dengan harga lebih murah.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Kalau setiap satu kawasan ada empat kali, setiap minggu kita dapat buat. Kalau satu keluarga boleh berjimat antara RM100 atau RM200 untuk sekali jualan, ia akan menjimatkan sekurang-kurangnya RM400 belanja dapur melalui Program Jualan Sentuhan Rakyat tadi. Jadi jangan kita mengapi-apikan dan kita meracuni pemikiran rakyat dengan mengatakan itu adalah seperti satu sogokan ataupun satu retorik semata-mata. Kita baru melaksanakan program ini sebulan yang lepas dan masih lagi berterusan. Kalaulah Program Sentuhan Rakyat ini memang terbukti dan memang telah pun dilihat terbukti maka tidak mustahil kerajaan akan meneruskan lagi. Dia tidak akan lagi menjadi program sekali sekala tetapi mungkin akan menjadi satu program yang berterusan sampai bila-bila. Sebagaimana kita melihat apabila kerajaan menubuhkan FAMA. FAMA juga telah mengadakan program yang hampir serupa iaitu Program Jimat Belanja Dapur. Program Jimat Belanja Dapur ini bukan program yang baru diadakan tetapi telah sekian lama, puluhan tahun sejak FAMA ditubuhkan. Kerajaan telah menyuntik peruntukan kepada FAMA supaya FAMA dapat mengadakan jualan-jualan yang lebih murah daripada harga pasaran melalui Jualan Jimat Belanja Dapur. Jadi dalam hal ini saya hendak menafikan bahawa kerajaan mengambil pendekatan populis dan hanya mengikut situasi semasa seperti apabila hendak pilihan raya baru kita adakan. Sebenarnya itu adalah tidak betul sama sekali. Ini kerana Program Jimat Belanja Dapur (JBD) oleh FAMA telah diadakan sekian lama dan ramai sudah rakyat yang menikmati nikmat-nikmat daripada jualan murah daripada FAMA. Sekarang ini agensi kerajaan kita daripada KPDNKK pula mengambil lagi peranan dan peluang untuk memberikan ruang kepada rakyat mendapatkan jualan harga barang yang lebih murah. Mungkin satu masa nanti ada pula lagi kementerian lain lagi yang berkaitan. Mungkin nanti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menambahkan lagi ruang dia untuk memberikan peluang mendapatkan makanan-makanan seperti sayur-sayuran yang lebih murah lagi. Jadi ini adalah program-program berterusan yang dilaksanakan untuk kita membantu rakyat kita supaya dapat menjimatkan kos sara hidup mereka. Kita kena ikhlas dan kita kena menghargai apa yang telah dibuat dan rakyat dapat menikmati hasil perancangan-perancangan yang telah dijelaskan oleh saya sebentar tadi.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNSekijang

Sedikit sahaja.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Ya, sila.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNSekijang

Tuan Yang di-Pertua?

Tuan Yang di-Pertua

Sila.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNSekijang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Tasek Gelugor. Saya tertarik apabila Yang Berhormat Tasek Gelugor menyebut tentang peranan kerajaan untuk menangani kalaupun bukan keseluruhan sekurang-kurangnya sedikit sebanyak ia telah dapat mengatasi kos sara hidup rakyat dengan memperkenalkan Jualan Sentuhan Rakyat dan juga program-program termasuklah melalui FAMA yang disebut oleh Yang Berhormat sebentar tadi. Cuma pandangan Yang Berhormat sendiri, adakah selepas kejayaan agensi-agensi kerajaan dan juga kementerian sendiri melaksanakan program yang baik seperti ini, adakah penglibatan pihak-pihak swasta. Contohnya syarikat-syarikat swasta yang boleh juga terlibat sama untuk membantu bersama-sama dengan kerajaan bagi menangani kos sara hidup ini. Apa pandangan Yang Berhormat?

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Terima kasih Yang Berhormat Sekijang. Saya setuju. Sebenarnya kalaulah pihak pembangkang sana pergi melihat jangan hanya mendengar cerita tentang Program Jualan Sentuhan Rakyat. Di situ penglibatan- penglibatan pihak swasta pun lebih daripada separuh yang mengambil bahagian. Pasar raya- pasar raya besar bersama-sama dengan kerajaan memberikan sumbangan, pengurangan kadar harga barang di projek ataupun Program Sentuhan Rakyat tersebut.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Rakyat sudah bersama dengan kerajaan. Rakyat sama-sama, pihak swasta pun turun sekali kerana hendak bantu. Ini bukan sekadar kerajaan memberikan peruntukan tetapi kerajaan juga telah berjaya mengajak rakan daripada pihak swasta untuk bersama-sama melihat masalah yang perlu ditangani.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Jadi, tidak perlulah pihak pembangkang membuang masa untuk menghasut dan juga untuk mencemari pemikiran-pemikiran rakyat supaya rakyat benci kepada kerajaan sedangkan pihak pembangkang tidak buat apa-apa pun. Walaupun hendak kurangkan 10 sen sayur sawi pun tidak pernah kita lihat lagi. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menasihati kepada pihak pembangkang dan juga kepada semua rakyat di Malaysia. Kita kena menerima keadaan-keadaan yang kita hadapi ini dan kita kena merancang dan selepas itu kita kena ada kesabaran dalam kita menangani setiap isu yang timbul. Jangan kita mencucuh api, menaruk minyak lagi supaya keadaan yang tidak selesa ini menjadi satu keadaan yang lebih buruk. Itu bukan peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan. Oleh sebab itu dalam hal ini, saya juga hendak menyebutkan bahawa kita sudah mencapai kepada satu tahap pelaksanaan Maqasid Syariah. Ini kerana dalam Maqasid Syariah ini, kita mestilah mencapai satu peringkat di mana kita mesti buat sesuatu tujuan kebaikan bagi menyelamatkan sesuatu yang penting. Jadi, sekarang yang penting ialah rakyat perlu mendapat makanan. Rakyat perlu mendapat keselesaan. Rakyat perlu mendapat keamanan. Jadi apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang, contoh melalui aspek ekonomi tadi. Pendekatan-pendekatan penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan secara terus kepada rakyat. Itu adalah satu pendekatan Maqasid Syariah yang menepati kepada keperluan al-haj, keperluan dhoruri. Keperluan dhoruri itu ialah keperluan yang bersifat darurat, makanan. Makanan kalau tidak ada menyebabkan mati. Mati itu satu darurat. Jadi, mana ada rakyat Malaysia yang kita katakan kebuluran. Semuanya insya-Allah mendapat makanan, tetapi bukan semua negara boleh menyediakan makanan yang terbaik kepada rakyat. Akan tetapi di negara kita, kita bersyukur alhamdulillah. Tuan Yang di-Pertua, satu perkara lagi yang ingin kita lihat di sini ialah perkara- perkara yang dilakukan oleh kerajaan seperti penggunaan cukai GST dan sebagainya. Walaupun GST ini dicemuh, dikecam dan sebagainya, tetapi kita kena terima hakikat bahawa ini adalah antara pendekatan yang digunakan oleh 160 lebih negara. Kesemuanya menyatakan bahawa ini adalah satu pendekatan yang boleh menyelamatkan keadaan. Malah dalam hal-hal tertentu, ada juga pernah pihak daripada pembangkang menyatakan bahawa kita akan teruskan GST, tetapi dengan nilai kosong. Kenapa ada juga GST? Mungkin selepas nilai kosong semasa kempen pilihan raya, selepas pilihan raya nanti dinaikkan. Kita lihat GST kita memang yang terendah. Singapore sudah jadi sembilan peratus. Negara-negara lain sampai 20 percent lebih. Perkara ini adalah suatu perkara yang kita kena bantu, kena sokong. Dalam keadaan ini kalau negara tidak mampu menangani masalah-masalah yang berlaku, bukan sekadar penyokong-penyokong kerajaan, penyokong pembangkang juga pun akan mengalami kesan yang sama. Jadi dalam hal ini, yang paling penting ialah bila kerajaan dapat mengumpul peruntukan dan pendapatan yang lebih mengukuhkan ekonomi negara melalui GST, kita melihat kita sedang menuju kepada negara maju melalui pembangunan dalam sistem pengangkutan awam, kemudahan-kemudahan asas, kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Jadi dalam hal ini, kita memang pasti dan memang kita tahu bahawa kalau hendak sampai kepada negara maju, kita mestilah mempunyai satu sumber pendapatan kewangan yang terjamin dan diterima di peringkat antarabangsa. Kalau tidak, apabila kita tidak mencapai kepada negara maju, maka ketika itu pembangkang akan kata Kerajaan Barisan Nasional tidak berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Ini pun tidak kena juga. Bila kita hendak buat negara maju dengan kaedah-kaedah mencari pendapatan melalui cukai dan sebagainya, pun kena juga. Jadi apa yang tidak kena ini? Apa yang kena, apa yang tidak kena? Sedangkan kalau kita lihat, kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan pun sama juga, kenakan cukai-cukai.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Cuma GST ini dia hanya di peringkat nasional tetapi di peringkat negeri, macam- macam cukai dikenakan. Kenaikan cukai katil hotel, kenaikan caj parking, kenaikan cukai premium tanah, kenaikan cukai pembangunan bagi projek-projek perumahan. Kenaikan kalau di Pulau Pinang tidak dipanggil tarif air, tetapi surcaj air. Naik. Apa benda yang turun? Tidak adapun. Tidak adapun benda yang turun. Di negeri Selangor, sama juga. Jadi dalam hal ini, jangan hanya melihat sebelah pihak.

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Yang Berhormat, boleh minta penjelasan?

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Nanti dulu. Saya masih ada kupasan lagi.

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Ini adalah hendak memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang, cukai pintu dikecualikan.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Jangan dalam hal ini hanya melihat sebelah pihak dan...

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Cukai pintu dikecualikan untuk kampung tradisional Melayu, penduduk rumah pangsa. Ini pun tidak...

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Duduk, duduk. Saya sebut negeri Pulau Pinang.

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Pulau Pinanglah. Pulau Pinang. You tidak faham pun.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Saya tidak sebut cukai bagi rumah-rumah. Saya tidak sebut pun....

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Yang ini pun tidak faham. Tadi kata tidak ada yang turun, tetapi saya kena buktikan Yang Berhormat salah. Yang Berhormat memang salah.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Saya tidak sebut.

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Cukai bukan sahaja turun, tetapi dikecualikan.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Okey, duduk. Duduk, duduk. Saya boleh jelaskan.

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Jangan menyelewengkan Dewan ini dan buat tohmahan tanpa asas.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Saya boleh jelaskan. Duduk! Yang Berhormat Taiping duduk! Saya boleh jelaskan.

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Ini adalah fitnah! Fitnah! Tarik balik. Kamu kata tidak ada satu pun yang turun.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Taiping. Yang Berhormat Taiping. Duduk, duduk.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Duduk, duduk. Yang Berhormat Taiping tidak faham. Projek pembangunan dia tidak faham. Adakah saya sebut cukai pintu? Boleh check Hansard balik. Saya tidak sebut pun perkataan cukai pintu.

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTaiping

Minta penjelasan.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Saya sebut cukai pembangunan. Tuan Nga Kor Ming [Taiping] Tadi Yang Berhormat kata tidak ada apa-apa cukai yang turun, semua naik.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Saya sebut cukai premium. Cukai premium.

Tuan Yang di-Pertua

Ahli Yang Berhormat Taiping. Ahli Yang Berhormat Taiping.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Cukai pembangunan. Saya tidak sebut cukai pintu.

Tuan Yang di-Pertua

Ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat. Duduk dulu Ahli Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, kita duduk sini hampir 10 tahun. Saya rasa ada Ahli-ahli Yang Berhormat hafal peraturan mesyuarat yang sebenar, tetapi sengaja tidak dipatuhi. Kalau Ahli-ahli Yang Berhormat buat begitu, lain kali saya tidak kasi warning lagi. Saya akan ambil tindakan keras kerana apabila saya tidak berbuat begitu, ada beberapa perkara berlaku. Pertama, saya akan dinampak bahawa saya tidak cukup tegas. Kedua, kenampakan bahawa Dewan ini tidak terurus dengan baik. Jadi jangan salahkan saya dan timbalan-timbalan saya. Sila Yang Berhormat Bukit Gelugor.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya ingin meneruskan perbahasan ini dan saya sudahi perbahasan bawah tajuk fakta pertama tadi. Saya teruskan kepada yang kedua iaitu tentang Indeks Syariah Malaysia. Yang di- Pertuan Agong sewaktu Titah Baginda telah menyentuh tentang Indeks Syariah Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, pada 10 Februari 2015, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia buat julung kalinya di negara ini dan juga yang pertama seumpamanya di dunia. Matlamat utama pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia adalah bagi memupuk perpaduan ummah di kalangan rakyat. Sebanyak 13 kementerian dan jabatan telah menubuhkan Sekretariat Indeks Syariah bagi memastikan dasar dilaksanakan selaras dengan Maqasid Syariah iaitu tujuan-tujuan bagi mencapai kebaikan-kebaikan yang berlandaskan kepada syariah. Skor Indeks Syariah Malaysia pada 2017 mencatatkan peningkatan yang amat ketara untuk empat bidang iaitu kesihatan, prasarana dan persekitaran serta ekonomi dan sosial. Peratus skor Indeks Syariah Malaysia bagi tahun 2017 menunjukkan peningkatan 0.64 peratus iaitu 76.06 peratus berbanding 75.06 peratus pada tahun 2015. Ini menjadi bukti pencapaian kerajaan dalam mentadbir negara selaras dengan Maqasid Syariah.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga turut mengalu-alukan peningkatan skor Indeks Syariah Malaysia yang menjadi satu komitmen kerajaan dalam melaksanakan pentadbiran negara berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Dalam hal ini, nilai kesederhanaan yang sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia juga mendapat keyakinan dunia apabila resolusi bagi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi yang dikemukakan Malaysia diterima di dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Jadi dalam hal ini, salah satu usaha yang telah dibuat oleh kerajaan bukan sahaja sekadar keberanian tetapi ia juga satu iltizam kita dalam menjaga agama Islam di negara ini. Jadi sebagai contoh soal halal, malah sesetengah negara tidak fikir pun fasal soal halal kerana masih tidak sampai pada tahap tersebut. Walaupun kerajaan sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di negara ini, pada masa yang sama, agama-agama dan budaya-budaya yang lain di negara ini adalah bebas untuk diamalkan. Persoalannya, sejauh manakah strategi kerajaan dalam memperkukuhkan kefahaman masyarakat dari semasa ke semasa untuk mendidik masyarakat terhadap usaha kerajaan supaya mereka memahami apa-apa yang ingin dicapai kerajaan serta berkongsi aspirasi kerana hasilnya nanti adalah demi kesejahteraan rakyat. Justeru dengan sebab itu, saya ingin bertanya kepada Menteri, apakah peranan ataupun apakah perancangan dan juga perkara-perkara yang telah dilakukan atau yang akan dilakukan supaya indeks syariah ini lebih dikenali, lebih dihayati, khususnya oleh masyarakat dan juga rakyat Malaysia sendiri selain daripada orang-orang di luar sana? Semoga indeks syariah ini akan dapat disebatikan dengan jiwa, naluri dan budaya serta kehidupan seluruh rakyat di Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan sebagainya kerana indeks syariah itu adalah satu indeks yang bersifat fleksibel dan bersifat global. Tuan Yang di-Pertua, akhirnya satu perkara yang ingin saya sentuh di sini ialah berkenaan dengan berita-berita palsu. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah sebutkan dalam surah al-Hujurat ayat yang keenam.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Bismillahi Rahmani Rahim... [Membaca sepotong surah al-Quran] Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang-orang fasik iaitu orang- orang yang diragui keikhlasan mereka dan orang-orang yang sentiasa beramal dengan sifat- sifat yang jahat, yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menampakkan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum atau pihak lain tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu akan menyesal di atas perbuatan-perbuatan tersebut”. Justeru dengan sebab itu, kita semua sedia maklum bahawa berita-berita palsu ini adalah merupakan musuh nombor satu negara. Ini kerana ia akan memusnahkan dan merosakkan semua apa juga yang telah kita bangunkan dan sebagainya. Oleh sebab itu tadi, kita mendengar Yang Berhormat Pandan ada menyebutkan tentang dia berperanan untuk menegur kerajaan, berperanan untuk membawa kebenaran kepada rakyat dan sebagainya. Akan tetapi saya juga hendak menegur Yang Berhormat Pandan, Yang Berhormat Pandan jangan hanya cakap sahaja...

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat, panjang lagi?

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Baik Tuan Yang di-Pertua. Dalam hal ini, kita kena fikirkan bahawa kesan kepada semua orang. Biarlah di sini kita sama- sama, baik pihak pembangkang, baik pihak kerajaan, kitalah yang memelihara nilai-nilai berita, nilai-nilai cerita dan sebagainya supaya yang keluar kepada rakyat itu adalah suatu perkara yang betul. Kita sendiri terutamanya di dalam Dewan ini harus bertanggungjawab. Semua kita tanpa mengira siapa, semua kita. Kita mesti bertanggungjawab untuk mengeluarkan berita yang terbaik, yang benar dan yang sahih kepada rakyat kita supaya rakyat mendapat sesuatu yang benar. Jadi Tuan Yang di-Pertua untuk kawasan saya, saya cuma hendak tanya dua soalan sahaja iaitu kepada kementerian. Sejauh mana kementerian telah berbincang...

Saya hendak mencelah, boleh?

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

...Khususnya Kementerian Kerja Raya telah berbincang dengan kerajaan negeri tentang...

Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Tasek Gelugor, boleh ya?

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

Tidak. Saya hendak habis sudah. Tentang lalu lintas...

Hendak sokong ini, hendak sokong fasal tadi itu.

Datuk Haji Shabudin bin YahayaUMNO · BNTasek Gelugor

...Di Tasek Gelugor yang begitu sesak dan juga tentang cadangan pembinaan klinik di Teluk Air Tawar. Jadi saya mohon Kementerian Kesihatan memberikan penjelasan. Sekian, terima kasih. Saya menyokong titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat. Tadi sudah saya bersikap adil di mana ada beberapa Ahli Yang Berhormat oleh sebab tidak dapat landing secara smooth, saya biarkan. Umpamanya macam Yang Berhormat Batu Kawan, saya biarkan. Apabila saya buat begitu, maka ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain ambil kesempatan. Kalau difikirkan bahawa ucapan dalam 20 minit itu tidak boleh dihabiskan kerana banyak perkara yang disebut hendak dihujah, jangan bagi laluan kepada siapa-siapa. Saya nampak tadi Yang Berhormat Batu Kawan tidak kasi laluan. Kalau pula mahu berhujah dalam masa yang telah ditetapkan itu, buat macam Yang Berhormat Pandan. Dia berhujah walaupun diganggu tetapi dia akan landing pada waktu yang ditetapkan. Atas sebab itu, oleh sebab Ahli-ahli Yang Berhormat tidak boleh mengawal lagi masa, maka mulai daripada saya panggil Yang Berhormat Bachok, dia berhujah, kalau timing atas dinding sana mengatakan bahawa berhenti, dia landing atau tidak landing, saya suruh kasi berhenti. Sila Yang Berhormat Bachok.

Terima kasih kepada Tuan Yang di- Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim... [Membaca sepotong doa] Saya mulakan bicara pada kali ini dengan membaca sepotong ayat Allah SWT. Auzubillahi minash shaytonir rajeem... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Allah SWT menyebut, “Janganlah disebabkan kamu memusuhi sesuatu puak dan kaum, maka kamu berlaku tidak adil kepada mereka. Hendaklah kamu melakukan dan menegakkan keadilan kerana sesungguhnya adil itu lebih hampir kepada takwa”. Tuan Yang di-Pertua, saya merafakkan sembah bagi menyokong usul menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Banyak sekali titah Yang di-Pertuan Agong yang perlu kita hayati dan pastikan ia dapat dilaksanakan oleh kerajaan dengan sempurna terutamanya yang menyentuh soal beban rakyat, keamanan dan juga keselamatan. Saya mulakan dengan isu yang pertama yang saya akan sebutkan ini ialah yang berkaitan dengan inisiatif penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang sangat kita alu-alukan. Namun dalam masa yang sama, pihak saya banyak menerima aduan daripada penerima bantuan JKM yang mengadu bayaran pada 28 Januari 2018 diterima lewat hampir sebulan. Semakan yang dibuat dan alasan yang diberikan oleh kerajaan adalah kerana sistem baru pembayaran gagal berfungsi dengan baik. Ia berlaku hampir seluruh negeri Tuan Yang di-Pertua. Ini menyebabkan jutaan penerima bantuan JKM yang terdiri daripada golongan lemah, OKU, warga emas, ibu tunggal, anak yatim, pesakit yang terlantar, orang miskin, makin bertambah derita oleh sebab lambat menerima bayaran. Tuan Yang di-Pertua, saya mengingatkan kepada apa yang disebutkan oleh Nabi SAW... [Membaca sepotong hadis] Kita ini Tuan Yang di-Pertua, diberikan pertolongan oleh Allah, diberikan kemenangan. Ini adalah di antara sebabnya kerana doa daripada golongan- golongan mustadafin seperti ini, maka soal kebajikan mereka sangat perlu kita titik beratkan. Bantuan yang mereka terima daripada kerajaan hanya untuk membeli makan. Bukan untuk bermewah-mewah hendak beli kapal mewah, bukan. Mereka guna untuk beli makan. Kalau lambat bantuan ini sampai kepada mereka, maka bayangkan mereka terpaksa mengikat perut dalam keadaan mereka susah dan payah ada yang terlantar sakit dan sebagainya. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin tahu, berapakah jumlah penerima bantuan JKM yang terkesan dengan kelewatan bayaran ini? Berapakah jumlah nilai bantuan yang terlibat? Saya juga minta kerajaan memperjelaskan secara terperinci punca kejadian ini dan pihak yang bertanggungjawab terhadap kelewatan ini.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Bachok, boleh sambung sebelah petang nanti jam 2.30 petang, ada baki lagi 15 minit. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat ditangguhkan sehingga pada 2.30 petang nanti. Terima kasih.

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 tengah hari]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]

Tuan Yang di-Pertua

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Bachok, 16 minit lagi. Sila.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sambung perbahasan saya dengan berpindah kepada isu keselamatan.

Kes kematian seorang pegawai kanan kastam di Rantau Panjang, Kelantan yang dirempuh tonto hingga kini masih belum diselesaikan walaupun sudah setahun berlalu. Sultan Muhammad V sendiri dilaporkan oleh pihak media menyatakan dukacita tentang kejadian tersebut dan meminta supaya mangsa diberikan pembelaan yang sewajarnya. Malangnya hingga ke hari ini nasib mangsa masih gagal dibela oleh sistem keadilan dalam negara kita. Hingga terpaksa mendapat perhatian SUHAKAM dan NGO-NGO yang bersimpati. Maklumat terbaru yang saya perolehi, beberapa pihak cuba disiasat oleh SUHAKAM tetapi cuba mengelak diri dengan tidak memberi kerjasama yang baik. Kes ini bukanlah semata-mata merupakan penganiayaan kepada keluarga arwah semata-mata bahkan akibat kejadian ini, penduduk di sempadan terutamanya berada dalam ketakutan kerana nampaknya tonto begitu berleluasa. Hingga sampai ke tahap berani membunuh pegawai penguat kuasa undang-undang dan sudah tentu penyeludupan dadah dan senjata api terutamanya akan menjadi lebih parah. Paten serangan tonto di seluruh negara begitu membimbangkan. Saya akan bacakan beberapa senarai serangan tonto, iaitu: ▪ Januari 2012 lima anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Melaka cedera diserang oleh 30 tonto bersenjatakan pisau. ▪ Pada Mac 2012, dua anggota kastam dilanggar oleh 15 buah kenderaan tonto di Pasir Gudang, Johor. ▪ Pada November 2012, dua anggota kastam hampir maut dihimpit oleh lori 20 tan dan enam kenderaan pacuan empat roda tonto. ▪ Pada September 2013, enam anggota KPDNKK Pulau Pinang nyaris dilanggar tonto. ▪ Pada Disember 2013, 20 buah tonto mengerumuni kenderaan Jabatan Imigresen Melaka. ▪ Pada Disember 2014, anggota JPJ Selangor nyaris maut dirempuh kenderaan tonto. ▪ Pada Oktober 2015, dua anggota kastam Perlis cedera parah dilanggar tonto. ▪ Pada Julai 2016, empat anggota kastam Johor cedera dirempuh tonto. Justeru, saya mengharapkan kes arwah Hanisah Ali dan juga kes kecederaan yang melibatkan penguat kuasa undang-undang benar-benar dibela oleh pihak kerajaan. Isu ini adalah merupakan antara yang disebut dalam Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong. Saya beralih kepada isu yang iaitu isu campur tangan politik kepartian di sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun mengeluarkan pekeliling melarang penglibatan parti politik dalam PIBG. Malangnya peraturan dan pekeliling ini terus-menerus dilanggar oleh kepimpinan UMNO, Barisan Nasional dan dibiarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan serta PPD di kawasan saya, Bachok. Terbaru Mesyuarat PIBG SMKA Tok Bachok dicemari oleh perasmian Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang sengaja ditonjolkan di backdrop, banner, buku laporan dan juga dalam ucapan. Bahkan disebut dalam bacaan doa. Bayangkan ibu bapa yang hadir dengan matlamat untuk melihat pencapaian cemerlang kepada anak mereka, terpaksa mengaminkan doa untuk kejayaan Timbalan Ketua Bahagian UMNO. Ini tidak sepatutnya berlaku. Saya mengharapkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan itu benar-benar diberikan penguatkuasaan. Persoalan saya ialah, adakah pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan tidak ada nilainya di sisi Jabatan Pendidikan Negeri? Justeru, saya menggesa pihak kerajaan memberi penjelasan tentang isu ini dan menyatakan bentuk tindakan yang telah diambil terhadap JPN Kelantan, PPD Bachok dan juga pihak SMKA Tok Bachok.

Saya beralih kepada isu yang juga merupakan isu penting bagi rakyat negeri Kelantan. Tuan Yang di-Pertua, isu royalti sudah banyak diperkatakan. Diskriminasi terhadap pembangunan negeri Kelantan oleh Kerajaan Persekutuan terus-menerus berlaku tanpa banyak kemajuan yang bermakna. Lebuh raya, pelabuhan, pembesaran lapangan terbang, bayaran royalti masih belum dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat negeri Kelantan. Padahal Kelantan banyak menyumbang kepada ekonomi negara termasuklah yang bekerja di luar negeri Kelantan. Walaupun ada sindiran sinis menyatakan rakyat Kelantan bekerja di luar Kelantan kerana Kelantan tidak menyediakan peluang kerja, itu satu pandangan yang negatif. Akan tetapi bagi kami orang Kelantan, kami menyatakan bahawa ramai rakyat Kelantan bekerja di luar itu kerana rakyat Kelantan ini bijak. Ini kerana cerdik dan bijak rakyat Kelantan ini mereka memberi sumbangan juga sampai keluar negeri Kelantan. Ucapan Titah Yang di-Pertuan Agong telah menyentuh soal meningkatkan kecekapan, perkhidmatan, penurunan kuasa Kerajaan Persekutuan dan usaha membanteras elemen kebocoran, penyelewengan dan juga salah guna kuasa. Berkaitan isu royalti Kelantan, sejak tahun 2012 di Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Dewan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-12 ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan yang juga Yang di- Pertuan Agong pada hari ini bertitah. Saya bacakan titah baginda, “Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan zon perindustrian petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi.” Akan tetapi apa yang berlaku Tuan Yang di-Pertua, dengan Titah Sultan Muhammad V ini akhirnya minyak didaratkan di Songkhla, Thailand. Berapa banyak orang Melayu di Songkhla, Thailand? Sedangkan Kelantan ini 99 peratus Melayu beragama Islam. Mengapa sengaja dilarikan ke Songkhla, Thailand? Kalau kata anda membela Melayu, Melayu mana dibela di Songkhla, Thailand? Ini perlu dititikberatkan oleh kerajaan, titah Sultan Muhammad V. Begitu juga kita dukacita apabila penemuan telaga-telaga minyak baru sebagai contohnya telaga minyak di blok PM302, PM352B. Akhirnya didaratkan di Kemaman, Terengganu. Padahal jarak telaga minyak dengan perairan Bachok, Kelantan hanya 100 kilometer lebih. Dengan Kerteh di Kemaman, Terengganu 300 kilometer lebih. Saya tidak tahu bagaimana congakan yang dibuat dalam penjimatan kos. Kalau kita lihat kepada jarak itu pun sudah kita tahu bahawa separuh daripada kos pendaratan itu mampu dijimatkan kalau sekiranya didaratkan di perairan negeri Kelantan. Ini sebagai contoh diskriminasi yang masih lagi berlaku kepada negeri Kelantan. Kita ada dalam Kabinet beberapa orang Menteri daripada Kelantan, Yang Berhormat Jeli, Yang Berhormat Machang ada, sepatutnya mereka ini lawan dengan Yang Berhormat Bagan Datuk, lawan dengan Pekan, lawan dengan Bagan Datuk untuk usaha supaya Kelantan dapat royalti.

Walaupun diberikan dalam rupa bentuk ihsan. Ihsan kita terima. Akan tetapi, ihsan berbeza dengan royalti. Royalti tercatat khas dalam perjanjian sejak 1975 lagi. Sebagai contoh, analogi yang mudah kalau saya boleh buat Tuan Yang di-Pertua, kalau anda kuat sembahyang tahajud macam mana sekali pun sampai ke pagi sembahyang tahajud, tiba-tiba tinggal sembahyang subuh tetap berdosa besar juga. Jadi, bagi ihsan itu bagilah tetapi royalti yang wajib ini perlu diberikan. Ini hak negeri Kelantan dan kita perlu menghormati ini bukan sahaja kerana perjanjian tetapi atas semangat federalisme yang sama-sama kita julang pada hari ini. Tuan Yang di-Pertua. Kita berterima kasih di atas bantuan-bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat. Walaupun apa yang kita tuntut jauh lebih besar daripada itu. Akan tetapi, jangan pula bila bagi bantuan pergi ke Kelantan bagi tahu kalau sekiranya pusat tidak bantu, Kelantan tidak boleh bayar gaji. Ini menjadi kewajipan sebuah Kerajaan Pusat. Sebagaimana seorang ayah dengan anak hari-hari bagi duit pergi sekolah.

Ayah tidak boleh ungkit, “Aku hari-hari bagi duit kepada kamu pergi sekolah”. Bapa tidak boleh buat begitu. Kalau mengungkit itu bukan bapa. Itu nama apa? Saya pun tidak tahu. Kalau kita bubuh ‘kepala bapak’ kita nampak kasar pula. Saya tidak mahu kata begitu. Walaupun ada orang berkata begitu, Tuan Yang di-Pertua. Jadi, kita perlu menghormati ada jadual negeri, ada jadual Persekutuan. Kemudian, ada juga ucapan sinis menyatakan Kelantan negeri miskin dan mundur. Kita semua menonton cerita P. Ramlee, Tuan Yang di-Pertua. Cerita P. Ramlee ini banyak pengajaran dia. P. Ramlee dalam cerita penyamun dengan 40 penyamun, dia pergi pangkah rumah Kassim Baba, rompak rumah Kassim Baba sebab dia tahu Kassim Baba kaya. Akan tetapi, apa yang berlaku sekarang ini dikatakan Kelantan miskin tetapi wang royalti petroleum tidak diberikan bahkan dirompak daripada negeri Kelantan. Lebih teruk daripada penyamun, Tuan Yang di-Pertua. Jadi, perlu kepada penelitian. Kemudian, saya beralih kepada isu yang dinyatakan juga oleh Yang di-Pertuan Agong. Isu yang berkaitan dengan penyebaran berita palsu. Secara dasar dan prinsipnya kita menyokong. Ini kerana Islam tidak membenarkan kita sebar berita palsu ini. Namun, untuk menyokong akta dan usul yang hendak dibawa oleh kerajaan kita perlu kepada penelitian. Apa yang membimbangkan kita akta itu nanti akan disalahgunakan untuk menutup penyelewengan dan salah laku yang melibatkan public interest, dengan izin. Jadi, ini kita tidak setuju. Saya tidak setuju dengan penyebaran berita palsu. Sebagai contohnya apa yang berlaku di kawasan saya Bachok. Dua tiga hari lepas, Yang Berhormat Pagoh akan berucap lepas pada ini dia akan jawablah. Yang Berhormat Pagoh berucap di kawasan saya di Bachok dia kata Tuan Guru Presiden PAS menyokong GST. Dia kata dia ambil kenyataan. Saya pun hairan kenyataan daripada mana? Bila merujuk kepada Hansard Parlimen, jelas dan terang apa yang diucapkan ini berniat jahat. Untuk memburukkan imej PAS dan memburukkan Presiden PAS. Saya memohon kepada beliau dalam ucapan lepas daripada ini supaya menarik balik perkara ini. Sangat tidak benar. Kita tidak menyokong GST. Kita tegas dengan prinsip tidak menyokong GST kerana membebankan rakyat. Prinsip untuk mengutip cukai daripada rakyat disebut oleh Allah SWT dalam konsep zakatnya... [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Kita ambil daripada orang-orang kaya di kalangan kita, kembalikan wang tersebut kepada orang miskin”. Apa yang berlaku GST dia ‘balun’ semua daripada orang kaya, orang miskin, anak yatim, budak-budak sekolah, tadika semua kena bayar GST. Bahkan sebahagian besar penggunaan wang hasil daripada GST yang berbilion ringgit ini diberikan dan dibuat, digunakan untuk membayar hutang negara yang terjadi hutang tersebut akibat keborosan pemimpin yang memerintah negara pada hari ini. Saya minta Yang Berhormat Pagoh supaya meneliti semula. Tidak baik Yang Berhormat cakap begitu. Padahal Yang Berhormat, waktu GST dilaksanakan 1 April 2015 Yang Berhormat masih lagi dalam kerajaan. Kemudian, 11 April kita buat himpunan di Padang Merbok, dihadiri oleh Presiden PAS untuk kita menolak GST. Yang Berhormat Pagoh dipecat daripada UMNO pada 26 Jun 2016, sewaktu Yang Berhormat dalam kerajaan tidak sebut pun bantah GST bahkan menyokong barangkali. Tiba-tiba kata kita pula sokong GST. Jangan begitu. Saya memetik pepatah dalam bahasa Urdu, dia kata... [Berucap dalam bahasa Urdu] Tuan Yang di-Pertua, jangan kita jadi seperti seekor anjing. Anjing ini bila nak cukup umur mengikut Mazhab Hanafi, kalau dia hendak kencing dia angkat kaki sebelah. Itu tanda cukup umur. Padahal, kata pepatah Urdu tadi waktu dia hendak berak dia berak merata tetapi time hendak kencing dia angkat kaki sebelah hendak tunjuk dia sopan. Padahal, seperkara itu tidak sepatutnya berlaku. Di mana yang menyokong GST bukan kami bahkan Yang Berhormat Pagoh sewaktu berada dalam kerajaan. Kalau sekiranya Yang Berhormat Pagoh ingin menebus pula apa yang disebut, saya meletakkan beberapa syarat yang disebut dalam al-Quran bila kita hendak perbetulkan kesilapan penyebaran berita palsu ini yang pertama... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Pertama, dia kena bertaubat menyesal. Minta maaf. Bukan sekadar minta maaf sahaja bahkan dia kena perbetulkan kesilapan yang terjadi hasil daripada ucapan tersebut... [Membaca sepotong ayat al-Quran]

Dia kena pergi ceramah semula di Bachok. Terangkan semula bahawa apa yang saya cakap pada 10 Mac lalu adalah merupakan fitnah dan kepalsuan dan saya memohon maaf. Kita tegas, Tuan Yang di-Pertua dalam soal seperti ini. Kerajaan bercadang untuk menggubal akta penyebaran berita palsu. Namun, apa yang lebih penting juga Tuan Yang di-Pertua ialah bagaimana kerajaan perlu melihat betapa perlu dan pentingnya dalam soal perkara-perkara yang melibatkan public interest. Jangan pula satu masa nanti bila kita mendedahkan dokumen yang berkaitan dengan kepentingan awam, kepentingan rakyat, harta rakyat tiba-tiba kita dicaj di mahkamah dan akhirnya dipenjarakan. Sebagaimana sahabat saya Yang Berhormat Pandan. Kita bersimpati. Sepatutnya itulah yang lebih utama kerajaan memikirkan bagaimana ada satu mekanisme perundangan untuk menjadikan public interest, kepentingan rakyat mendahului daripada kepentingan parti politik pemerintah. Tuan Yang di-Pertua. Dalam kesempatan masa yang berbatas ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan hasil apa yang saya sebutkan di Dewan ini selama lima tahun saya berada di Dewan ini, saya tidak pernah lupa setiap kali sidang untuk minta supaya dilaksanakan pembinaan hospital di kawasan saya, Bachok. Alhamdulillah, Tuan Yang di-Pertua bermula dari 2013. Setiap kali sidang, saya bertanya, saya berucap, saya perjuangkan hak ini untuk rakyat di kawasan saya, Alhamdulillah dibina hospital sekarang ini, Tuan Yang di-Pertua. Sedang dalam pembinaan. Kalau orang kata ini jasa siapa? Tidak penting, Tuan Yang di-Pertua. Akan tetapi, saya berperanan sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat untuk minta bagi menjamin kesejahteraan rakyat di kawasan saya. Cuma yang mendukacitakan bila pergi pecah tanah tidak jemput pun kita, Tuan Yang di-Pertua. Masuk rumah kita, tidak bagi salam, tidak jemput. Saya lalu tengok Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga kepimpinan UMNO ada tetapi tidak jemput kita. Yang kita dok sebut hari-hari ini bukan Ketua Bahagian UMNO yang sebutkan dekat sini, Tuan Yang di-Pertua. Saya yang sebut di sini. Saya yang perjuangkan. Walaupun dinafikan bahawa hak ini bukan hak perjuangan saya tetapi tidak kisahlah kerana Allah SWT tidak pernah melupakan kepada jasa orang-orang yang berbuat kebaikan. Tuan Yang di-Pertua. Akhirnya saya hendak sebutkan, apa yang disuarakan oleh imam-imam yang sehingga hari ini bila dijanjikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam bajet yang lalu untuk diberikan bayaran one-off kepada imam. Saya bertanya bagi pihak mereka di manakah one-off tersebut? Kalau hendak bagi one-off tersebut bagilah dengan cepat dan jangan bersyarah banyak sangat. Ini kerana imam-imam ini ada tugas masing-masing. Dia hendak buat kerja, hendak nikah kahwin, hendak kebumikan jenazah dan sebagainya. Akhirnya, saya berterima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua selama lima tahun saya berada di Dewan ini kerana memberi peluang kepada saya untuk berbahas. Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Labuan. Silakan. Okey. Depan. Ini-ini Yang Berhormat Labuan beri laluan. Sila.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih banyak. Sebenarnya Yang Berhormat Tanjong Piai hendak minta laluan tadi. Akan tetapi, Yang Berhormat Tanjong Piai sudah berdiri.

Tuan Yang di-Pertua

Dalam list saya Labuan.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Selepas Yang Berhormat Tanjong Piai?

Tuan Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Labuan.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang untuk saya turut serta membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada awal persidangan Parlimen kali ini.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Saya juga turut sama dengan rakan-rakan terutamanya rakan-rakan dari sebelah sini untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah berjaya membawa negara kita ke tahap yang cukup membanggakan yang kita semua sedang nikmati sekarang. Saya ingin mengimbas kembali performance yang cukup membanggakan iaitu ketika Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengambil alih pucuk pimpinan pada April 2009 di mana pada masa itu negara mengalami kemelesetan global yang paling teruk sejak tahun 1930an. Pada masa yang sama, dasar ekonomi terbuka dan kebergantungan negara kepada perdagangan antarabangsa menyebabkan Malaysia terjejas teruk, eksport menurun 20 peratus sementara ekonomi menguncup dengan ketara sebanyak 6.2 peratus pada suku pertama tahun 2009 tersebut. Negara juga pernah dibelenggu oleh isu-isu struktur dan legasi serius dan ini antara lain mengakibatkan gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, harga kereta mahal, kadar kemiskinan yang tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol lebuh raya yang kerap, penurunan standard pendidikan, pengangkutan awam yang teruk, perjanjian loji kuasa bebas IPP yang berat sebelah serta kapitalisme kroni yang berleluasa. Kesemua ini memberi kesan buruk terhadap kebajikan masyarakat. Namun, cabaran-cabaran ini dapat diperbaiki dan ditangani dengan gigih dan istiqamah sehinggalah kita dapat melihat ia dapat diselesaikan satu persatu. Termasuklah juga negara sebelum ini terlalu bergantung kepada minyak, gas dan komoditi manakala pembangunan negara tidak sama rata dengan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia ketinggalan. Kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita telah memulakan Program Transformasi Negara dengan komponen utamanya Program Transformasi Ekonomi atau ETP telah meletakkan kepentingan rakyat Malaysia sebagai asas dan matlamat utama. Dalam program ini, maka ketidakseimbangan itu akan ditangani dan mana yang belum dibuat kena buat, mana yang terambil akan dipulangkan. Semua ini adalah satu indicator menunjukkan bahawa pucuk pimpinan kita yang ada sekarang adalah seorang pemimpin yang adil, seorang pemimpin yang akan memastikan seluruh warga negara ini akan mendapat manfaat dan mencapai kesejahteraan yang kita inginkan. Pendapatan kasar negara telah meningkat hampir 50 peratus. Kita juga telah mengurangkan jurang sasaran pendapatan tinggi daripada 33 peratus kepada 19 peratus. Sebanyak 2.26 juta pekerjaan telah diwujudkan di mana lebih satu juta daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi. Dalam bulan Mac 2017, eksport negara telah mencecah RM82.63 bilion yang juga merupakan angka bulanan tertinggi bagi eksport Malaysia yang pernah direkodkan. Inflasi dan pengangguran kekal rendah oleh kerana dasar luar negara kita telah berjaya menarik pelaburan langsung asing pada tahap yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang menunjukkan keyakinan dunia terhadap Malaysia. Pelabur-pelabur itu tidak berhenti sekarang malah semakin banyak yang ingin datang untuk melabur di negara kita. Pada tahun 2017, kita telah melihat 14 MOU perniagaan antara Malaysia dan China bernilai RM144 bilion, 31 MOU perniagaan antara Malaysia dan India bernilai RM158.4 bilion serta pelaburan USD7 bilion di Malaysia oleh Saudi Aramco. Ini membawa bersamanya beribu-ribu pekerjaan baru, pemindahan kemahiran dan peningkatan taraf hidup untuk keluarga yang tidak terhitung jumlahnya. Kerajaan turut memperkenalkan pelan pendidikan untuk sekolah dan universiti dan sekarang kita dapat melihat kedudukan universiti-universiti di peringkat antarabangsa mula meningkat dengan mantap. Jalan raya juga telah dinaiktarafkan. Sebagai contoh, sebahagian besar Lebuhraya Utara Selatan telah dinaiktarafkan menjadi tiga atau empat lorong berbanding dua lorong pada masa lalu. Fasa pertama projek Mass Rapid Transit telah siap pada akhir tahun lepas dan Fasa kedua laluan MRT Sungai Buloh-Kajang telah dilancarkan pada bulan Julai. Kini kita mempunyai rangkaian perkhidmatan sepanjang 51 kilometer dengan 31 stesen.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Kita sekarang memberikan penumpuan kepada peningkatan kualiti servis pengangkutan awam yang sememangnya sangat perlu untuk kita memastikan kesejahteraan rakyat dan juga seterusnya menjadikan negara kita lebih kompetitif. Ia juga adalah sebagai salah satu indicator sebagai sebuah negara membangun. Projek-projek ini mencipta 130,000 pekerjaan baru di mana 70,000 adalah pekerjaan langsung. Lebih mengagumkan lagi, projek-projek ini siap lebih awal daripada jadual dengan penjimatan sebanyak RM2 bilion. Kini MRT 2 dan 3 turut berada dalam perancangan. Manakala dalam masa beberapa tahun lagi, kita juga akan mempunyai laluan kereta api berkelajuan tinggi pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura. Ini akan mengurangkan masa perjalanan antara dua bandar raya ini kepada 90 minit berbanding lebih daripada empat jam dengan kereta. Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur atau ECRL pula akan menjadi satu lagi game changer untuk negeri-negeri Pantai Timur. Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan Persekutuan sebelum ini tidak pernah menyediakan sebegitu banyak peruntukan tahunan dan projek pembangunan. Sebagai contoh, Lebuh Raya Pan Borneo akan menjadi pemacu utama bagi pembangunan dan perhubungan di Malaysia Timur. Satu lagi yang baru-baru ini diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Menumbok di Sabah yang seterusnya akan menghubungkan ke Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan tersebut. Ini semua akan merangsang ekonomi dan seterusnya akan mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di dalam negara ini. Saya ingin mengucapkan berbanyak- banyak terima kasih bagi pihak rakyat Labuan dan juga rakan-rakan di Sabah dan Sarawak atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada Malaysia di Borneo tersebut.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Pendapatan per kapita rakyat juga meningkat daripada RM27,819 pada tahun 2010 kepada RM40,713 pada tahun 2017. Pendapatan median bulanan pula meningkat daripada RM4,585 pada tahun 2014 kepada RM5,288 pada tahun 2016. Kita juga telah melihat peningkatan dalam pendapatan isu rumah B40 yang telah meningkat pada RM3,000 pada tahun 2016 daripada RM2,629 pada tahun 2014. Nisbah GNI yang mengukur kesaksamaan pendapatan turun daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.399 pada tahun 2016. Yang paling rendah dalam sejarah Malaysia. Meskipun Malaysia turut terjejas akibat kejatuhan harga minyak dunia pada tahun 2014, namun tidak seperti negara-negara pengeksport minyak lain, Malaysia bukan sahaja berjaya mengelakkan kemelesetan tetapi ekonomi kita terus berkembang. Salah satu langkah yang menjadi penyumbang utama kepada perkara ini adalah pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Pembaharuan cukai menyeluruh yang direka melalui GST adalah untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawasi ekonomi hitam dan haram serta mengurangkan pengelakan cukai dan meluaskan asas percukaian negara. Ia membantu untuk kita memberikan kita punya sistem lebih telus dan ini dapat menangani banyak perkara-perkara seperti yang saya sebut tadi. Walaupun GST mungkin seperti rakan kita katakan tadi mengenakan sebahagian daripada keperluan mereka- atau mereka yang berpendapatan rendah juga akan terkena tax, consumer tax seperti GST ini tetapi kebanyakannya dan ada satu list yang panjang barang-barang item ini yang zero rate GSTnya. Pada masa yang sama, dengan kutipan daripada GST ini juga, kita mempunyai dana untuk kita salurkan balik ke sasaran dalam bentuk BR1M dan bantuan-bantuan lain dan sebagainya. Ini mengelakkan daripada subsidi yang berpukal tetapi kita jadikan ia jadi subsidi yang bersasar. Di mana duit yang kita collect ini, kita pulangkan kepada mereka yang betul- betul memerlukan. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2008 telah mengurangkan cukai korporat daripada 27 percent kepada 24 peratus. Kadar cukai pendapatan peribadi juga telah jatuh daripada 28 peratus pada tahun 2008 kepada 24 peratus. Kerajaan juga menaikkan nilai ambang cukai pendapatan RM4,000 atau kurang tidak lagi perlu membayar sebarang cukai pendapatan. Bukan seperti dahulu, gaji RM2,000 tetap dikenakan cukai.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Semua agensi penarafan kredit utama telah mengesahkan status Malaysia dalam Band A dan Organisation of Economic Cooperation and Development (OECD) turut mengesahkan Malaysia salah satu ekonomi Asia Tenggara yang paling berjaya.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Labuan, Yang Berhormat Pasir Puteh berdiri.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Labuan.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Sedikit sahaja, masa.

Saya sedikit sahaja. Saya ingin mendapat pendapat Yang Berhormat Labuan. Tadi Yang Berhormat Labuan menunjukkan tentang cukai korporat dikurangkan, bermakna cukai orang kaya dikurangkan dan kemudian Yang Berhormat Labuan katakan juga bahawa GST itu cukai itu kena kepada semua, termasuk orang miskin. Adakah tidak Yang Berhormat Labuan melihat sini ada sesuatu yang salah? Kita cukaikan orang miskin dan kita mengurangkan cukai kepada orang kaya. Apa pendapat Yang Berhormat Labuan?

Tuan Lim Lip EngDAP · PHSegambut

Tidak masuk akal.

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Okey, sebenarnya menurunkan cukai korporat pada masa yang sesuai sebenarnya adalah satu strategi untuk menambah total collection yang kita ingin dapatkan.

Tuan Lim Lip EngDAP · PHSegambut

Ini logik apa ini?

Datuk Rozman bin IsliUMNO · BNLabuan

Dalam keadaan ekonomi sedang membangun, dalam keadaan investment begitu menggalakkan, jadi sebenarnya dengan penurunan cukai korporat ini akan membuatkan syarikat-syarikat tersebut mempunyai keupayaan untuk melabur dengan lebih banyak lagi. Dengan pelaburan-pelaburan ini, ia akan menghasilkan peluang pekerjaan dan sebagainya. Termasuk mereka juga akan boleh dapat mengadakan program-program CSR dan sebagainya. Pendapatan yang berkembang, ekonomi yang berkembang dengan rate yang sesuai untuk tax sebenarnya akan memberikan keuntungan. Kita kena lihat dengan lebih meluas dan mendalam. Jadi, sebenarnya dengan apa yang saya ceritakan dan apa yang saya huraikan satu persatu tadi itu pun sebahagian daripada yang lebih banyak lagi kalau kita hendak bercerita. Menunjukkan memang Malaysia ini adalah satu kisah berjaya, a success story, yang sedang mengalami satu momentum yang sedang membangun dengan baik. Negara kita sekarang berhadapan dengan seperti juga dengan negara-negara di dunia ini, berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih hebat seperti yang disebutkan, Industrial Revolution 4.0 di mana kerajaan yang lebih berpengalaman, lebih stabil dan yang telah menunjukkan track record yang begitu baik. Patut kita pastikan ia mempunyai peluang untuk meneruskan kejayaan yang sedang kita alami sekarang ini. Kalau saya hendak cerita- saya ada dua minit lagi. Di Labuan sahaja pun kita memang dapat melihat begitu prihatinnya kerajaan yang ada sekarang. Saya yakin di seluruh kawasan-kawasan Parlimen pun sama. Termasuklah Projek-projek PPR 500 unit, PPA1M, medan selera baru, Kompleks RTM, ibu pejabat bomba, jalan raya baru, penaiktarafan jalan raya, klinik kesihatan, kuarters kesihatan, naik taraf kompleks sukan, banyak lagi sebenarnya. Akan tetapi yang paling besar sebagai pemacu perubahan di Labuan adalah jambatan yang sememangnya sudah ditunggu-tunggu dari dahulu hinggalah sekarang. Saya menyuarakan dari awal tahun penggal ini hingga akhirnya, jambatan Labuan ke Menumbok Sabah telah diumumkan. Ia akan dilaksanakan kajian kaedah pelaksanaan, bukannya kajian kebolehlaksanaan. Saya ulangi, bukan kajian kebolehlaksanaan tetapi kajian kaedah pelaksanaan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Ini akan membuatkan- ini juga bermakna sebenarnya pada tahun 2019 pembinaannya akan bermula. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kepada semua yang terlibat dalam menyokong usaha ini. Terima kasih kepada kerajaan. Marilah kita sama-sama memastikan Kerajaan Barisan Nasional akan terus memerintah dan membawa Malaysia ke kejayaan yang lebih tinggi. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Sila, Yang Berhormat Semporna.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas ruang dan peluang yang diberikan kepada saya pada petang ini untuk membahaskan Titah Diraja Tuanku pada 5 Mac 2018. Setelah mendengar Titah Tuanku dalam jangka masa yang saya ingat sepanjang saya berkhidmat di Parlimen, di antara yang terpendek. Sudah lima penggal saya di Parlimen. Walaupun demikian, Tuanku menyentuh tentang Sabah dan Sarawak agak banyak kali. Baginda menekankan beberapa isu, bukan hanya perlunya pembangunan kemajuan ditingkatkan di kedua-dua tempat dan juga perlunya hidup masyarakat kita bukan hanya dapat kita tingkatkan berhadapan dengan cost of living, bahkan juga dari segi kesihatan dan juga menyentuh tentang perpaduan di negara kita ini.

Saya setelah mendengar Ahli Parlimen daripada Labuan tadi pun dan sebenarnya kalau kita mengimbau sejarah, tidak banyak apa yang Barisan Nasional telah lakukan waima kalau kita lihat, saya memberi satu contoh bukan hanya Labuan itu merupakan satu tempat. Dahulu semasa saya berkhidmat sebagai pegawai kerajaan pada awal tahun 1981, ia merupakan satu wilayah, satu tempat yang penuh dengan industri oil and gas. Hari ini sudah habis sudah pun. Sistem oil and gas yang berada di Labuan berbanding dengan tempat-tempat lain seperti di Johor dan di tempat-tempat yang lain seperti di Sarawak termasuklah dari segi Sabah shipyard yang dahulu merupakan satu industri yang memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak bukan hanya datangnya daripada Labuan bahkan juga daripada tanah besar negeri Sabah. Pada hari ini kita dapat melihat keadaan itu agak menurun dan ini juga membimbangkan kita, waima kita lihat disebutkan tentang Pan Borneo, satu kebanggaan. Ada juga yang menyatakan ini merupakan satu hadiah kepada negeri Sabah. 20 tahun tanah Semenanjung sudah pun mempunyai highway, kita baru dua highway di peringkat negeri Sabah, itu pun hadiah. Sebenarnya ini bukanlah satu hadiah, ini adalah satu tanggungjawab pihak pemerintah. Saya difahamkan tidak tahu betul kah tidak, waima dari segi pandangan apabila saya lalu daripada Kota Kinabalu sampai ke Sipitang, di tengah jalan sampai ke Penampang dan sebelum kita sampai ke Papar, semua prasarana sudah terkandas, tidak berjalan, tidak berfungsi. Saya tidak nampak bahawa sampai ke Kimanis, sampai ke Beaufort, sampai ke Sipitang, perjalanan projek ini yang dijangka siap dalam jangka masa lima tahun akan dapat disiapkan. Saya difahamkan bahawa kewangannya pun agak terbantut sehingga kemungkinan saya difahamkan memerlukan bantuan daripada syarikat daripada negara China. Tidak tahu ini betul kah tidak betul dan ini yang saya hendak lihat bahawa keadaan kita di peringkat negeri Sabah perlu mendapat perhatian. Satu contoh lagi. Pada tahun 1979, kerajaan BERJAYA waktu itu di bawah Tan Sri Harris Salleh, telah pun memberi tanah daripada tahun 1979 sehingga 1982, kalau tidak silap saya memberi tanah kepada FELDA sejumlah 290,000 hektar tanah bersamaan dengan 517,410 ekar tanah- 500,000 ekar tanah bagi dengan FELDA dengan tujuan dalam perjanjian itu ialah untuk menempatkan lebih kurang 40,000 peneroka. Akan tetapi hari ini, hanya ditempatkan 1,647 orang peneroka sahaja daripada sasarannya 40,000, sekarang ini 1,600 orang peneroka yang ada di peringkat negeri Sabah. Ini yang membimbangkan kita. Tanah begitu luas yang diberikan oleh kerajaan negeri, perjanjiannya dengan ehsannya, tujuannya supaya memperbanyakkan peneroka supaya orang-orang kampung bukan hanya mendapat peluang pekerjaan, bahkan juga mendapat nafkah hidup mereka. Akan tetapi malangnya pada hari ini, kita dapat melihat bahawa apa perjanjian yang telah dilaksanakan di antara kerajaan negeri waktu itu dengan Kerajaan Pusat, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf, telah tidak mendapat mencapai matlamatnya. Tanah ini bukan kerajaan negeri hendak bagi dengan FELDA. Dengan izin, it is meant for the smallholders, for the Sabahan, it is not for FELDA to enrich FELDA. It is for the government dengan attention dengan izin Tuan Yang di-Pertua to help Sabah and to help Sabahan to be developed.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Semporna, Yang Berhormat Kalabakan berdiri di belakang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya mendengar dengan jelas ucapan daripada Ahli Parlimen Semporna tadi menyentuh tentang Pan Borneo dan juga FELDA yang berada di Sabah. Akan tetapi saya hairan kenapa pada ketika ini sedangkan dahulu kami sudah bawakan perkara ini, kenapa Ahli Parlimen Semporna yang dahulu menjadi Kabinet negeri Sabah tidak membangkitkan perkara ini. Hanya sekarang apabila sudah tidak ada dalam kerajaan, baru membangkitkannya? Jadi saya sangat hairan juga kenapa persoalannya baru dibangkitkan. Jalan Pan Borneo yang dikatakan sudah dihentikan itu, dusta sama sekali. Ia berjalan dengan lancar dan Kerajaan Persekutuan memang sudah mengakui bahawa kita mesti menyelesaikan jalan-jalan ini dalam tempoh yang telah ditentukan. Kita tidak tahu Ahli Parlimen Semporna katakan lima tahun tetapi kita tidak tahu, kami tidak tahu lima tahun kah, 10 tahun tetapi kenapa baru dibangkitkan pada hari ini. Minta penjelasan.

Tuan Yang di-Pertua, rakan saya daripada MP Kalabakan, tidakkanlah saya hendak maklumkan dengan MP Kalabakan apabila saya berbincang dengan Tan Sri Yusof Noor, Pengerusi FELDA dahulu saya suarakan banyakkan peneroka. Cuma kita tidak hebahkan di peringkat luar. Pan Borneo, Yang Berhormat Kalabakan tahu tidak, jalan daripada Tawau sampai ke simpang itu sebahagian daripada Pan Borneo. Saya suarakannya kepada Tun Samy Vellu sewaktu itu Menteri Kerja Raya. Selepas itu melaksanakannya semasa Dato' Shaziman semasa Menteri Kerja Raya. But it is part and parcel, dengan izin Pan Borneo yang sekarang ini dilancarkan. Bukan kita tidak bersuara, kita bersuara selaku pemimpin, cuma kita tidak keluarkan di peringkat luar kerana waktu itu saya Ahli Parlimen Barisan Nasional. Apa salahnya apabila saya memberi sokongan kepada pembangkang, ini merupakan satu perkara yang kita tahu berlandaskan dengan seorang pimpinan yang sedar dan tahu keadaan yang berlaku. Bukan orang Melayu mati, bukan orang Semporna mati, kalau saya undi bukan pembangkang. Kalau tidak kita buat perubahan itu, tidak akan berlaku seperti apa yang di Kalabakan. Kalabakan merupakan satu kawasan Parlimen, tidak ada pejabat daerah pun. Kerajaan Warisan, saya bagi janji di Parlimen ini kita perintah, saya akan buka satu pejabat di kawasan Kalabakan kelak. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyambung sedikit tentang apa telah saya sebutkan tentang tanah FELDA tadi. Ini juga berhubung kait dengan harga minyak kelapa sawit yang ada dilaksanakan oleh pihak MPOB. Contohnya MPOB, FFB Reference Price (Mill Gate) harga panduan BTS di pintu kilang, 28 Februari 2018. Kalau kita melihat gred yang ada pada 28 Februari 2018, Semenanjung dalam gred yang sama, OER iaitu kadar perahan minyak daripada kilang yang digelarkan sebagai 20 peratus ditakrifkan minyak kelapa sawit di Semenanjung sebagai gred A. Akan tetapi nilai minyak kelapa sawit daripada kilang yang diperahkan di peringkat negeri Sabah 20 peratus sama tetapi ia gred C. Seakan-akan ada diskriminasinya. Selepas itu harganya? Di Semenanjung harga kelapa sawit RM565 satu tan. Manakala di Sabah harga minyak OER 20 peratus RM497 satu tan. Hampir RM67 satu tan perbezaannya. Bayangkan kalau 10 juta tan, berapa jumlah masyarakat peneroka bukan hanya yang kecil, yang besar di peringkat negeri Sabah kerugian oleh kerana tidak selari harganya. Tidak sama dengan lagu yang didendangkan sehati sejiwa tetapi harga lain-lain. Ini yang saya lihat. Kalau dahulu mungkin ada sebabnya pasal ketika itu kilang pemprosesan tidak ada di peringkat negeri Sabah. Sekarang ini sudah ada kilang di peringkat negeri Sabah yang sudah banyak. Tidak perlu menghantar kelapa sawit ke Semenanjung to be processed, dengan izin. Sekarang ini hanya diperlukan di peringkat negeri Sabah.

Jadi ini yang saya harap sungguh pihak pemerintah kerajaan berlaku adil dengan kerana Sabah mempunyai hampir 30 peratus pengeluar minyak di peringkat negara kita. Saya bimbang keadaan yang berlaku di peringkat negeri Sabah pun sebahagian besar tanah yang ada bukan lagi milik kita. Sama ada is listed company or it is a foreign owned. Ini yang membimbangkan kita. Jadi saya berharap sungguh keadaan ini seperti apa yang saya sebutkan di peringkat kemajuan yang sepatutnya dibangunkan di peringkat FELDA ini saya difahamkan penutupan kilang Refinery FELDA Lahad Datu, kilang Fajar Harapan, kilang Jaringan Bestari iaitu akan ditutup, maka di tutup saya difahamkan. Ini sudah pasti akan banyak menimbulkan bukan hanya peluang pekerjaan, pengangguran dan pendapatan masyarakat kita dan ini saya berharap seperti apa yang Titah Tuanku sebut tentang FELDA, bila Titah Tuanku menyebut tentang bagaimana peranan syarikat-syarikat seperti FELDA boleh membantu masyarakat di peringkat luar bandar ini akan dapat diperbetulkan. Saya juga difahamkan oleh sebab keadaan yang berlaku di kawasan ini kilang- kilang sudah hampir tutup dan pengangguran pun ada, dalam masa yang terdekat ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan Ketua Menteri Sabah akan turun untuk mengumumkan. Saya difahamkan betul atau tidak berdekatan dengan pilihan raya ini supaya dapat sedikit sebanyak durian runtuh diberikan kepada pihak-pihak ini. Akan tetapi saya yakin dan saya percaya masyarakat dan para pengundi di peringkat Negeri Sabah sudah pun faham dan tahu tentang keadaan ini. Tuan Yang di-Pertua, Tuanku juga menyebut tentang perpaduan yang perlu kita mempertingkatkan. Perpaduan ini memang kita akui perlu dipertingkatkan. Bila saya menyuarakan tentang orang Sabah dan keperluannya hak Sabah bukan hanya dipertahankan dan dilaksanakan tidak bererti saya benci dengan orang Semenanjung. Saya sayang orang Semenanjung. Isteri saya daripada Negeri Kedah, menantu saya orang Kelantan seorang, menantu lagi seorang orang Selangor. Tidak akan kita tidak sayang. Bukan bererti bila kita tidak memberi sokongan dengan bulatnya kepada Barisan Nasional kita tidak sayang. It is because, dengan izin, for the love of this country we are willing to sacrifice everything. Bukan jawatannya dan bukan pangkatnya yang menjadi imbuhan kita. Saya dikatakan tikam belakang. Saya tidak pernah tikam belakang. Daripada dulu Mahathir dengan izin, Pak Lah masa dia Perdana Menteri, very honest Datuk Seri Anuar Ibrahim pun saya pernah suarakan. Saya ingat Tuan Yang di-Pertua waktu itu pun tahu sejarah-sejarah politik saya dahulu bagaimana saya cukup lantang bila ada sesuatu perkara yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat di negara ini dan khususnya di peringkat negeri Sabah saya suarakan. Bukan bererti pada hari ini saya hanya menyuarakan di peringkat luar. Saya menyuarakan di landasan. Bila kita jadi Menteri ada landasannya. We are proper people. Bukannya bila ada landasan sebagai seorang Jemaah Menteri you cakap di luar, tidak. Saya bersuara masa saya zaman Menteri. Saya ingat Yang Berhormat Pagoh pun tahu cukup lantang saya tentang bekalan air dan tentang semua kemudahan-kemudahan asas yang ada termasuk di kawasan Tuan Yang di-Pertua di Kota Belud untuk bagaimana masalah yang dihadapi oleh rakyat. Ini yang membimbangkan kita. Cuma saya kesal sedikit dalam usaha untuk menyatupadukan rakyat ada sebilangan orang yang sehingga menimbulkan perkara-perkara dianggap saya ini bukan orang tulen. Orang dari pulau, bukan orang tulen. Kenapa saya ini Bajau? Saya memang Bajau. Saya bekas Timbalan Presiden Persatuan Bajau Sabah. Tuan Yang di-Pertua pun tahu. Akan tetapi bila saya disebutkan seumpama ini, perkara kita nyatakan, the second biggest race in Sabah is the Bajau community yang juga telah membantu selama ini Barisan Nasional. Tidak akan orang ini orang luar. Dengan izin, how can I be Timbalan Menteri Pertahanan kalau saya ini bukan orang tulen Sabah. How can I be a member of Parliament, in this Parliament kalau saya ini orang asing ataupun bukan orang tulen, tidak layak untuk menjadi Ketua Menteri di peringkat Negeri Sabah. Ayahanda saya Tun Sakaran menjadi TYT. Tidak akanlah perkara seumpama ini saya harap sungguh keadaan seumpama ini kalaupun kita hendak meraih sokongan daripada rakyat hendak menimbulkan.

Saya tidak pernah menimbulkan tentang kaum mana-mana pihak, mana-mana pemimpin yang ada. Akan tetapi yang kepentingan kita, kita hendak suarakan keperluan rakyat, pengangguran di peringkat negeri Sabah. Apa yang membimbangkan saya di antara kalau kita membuat perbandingan Sarawak, Sarawak seumpama sama besar negeri dia. Pengangguran jauh berbeza daripada negeri Sarawak, lagi tinggi berbanding daripada negeri Sarawak. Hutang negeri Sabah empat tahun berturut-turut sudah pun meningkat berbanding dengan negeri Sarawak. Pada hari ini the paradox dengan izin it is a rich state but with the most poorest people in the country. Ini yang membimbangkan kita. Mengapa negeri yang mempunyai kekayaan bukan hanya dari segi sumbernya bahkan juga dari segi rakyatnya yang mempunyai kebolehan, takkan kita tidak boleh mempertingkatkan lagi kemudahan-kemudahan ini. Seperkara lagi yang saya hendak timbulkan Tuan Yang di-Pertua berhubung kait dengan sektor pelancongan di peringkat Negeri Sabah. Saya tahu ada pendekatan untuk menggunakan kemudahan-kemudahan ICT, E-Commerce dan berbagai-bagai. Di kawasan saya juga berhadapan dengan ini di mana aplikasi seperti Alipay kita galakkan untuk mempermudah ALIPAY transaction ini dilakukan dengan baik supaya kita hendakkan pelancong daripada negara China meningkat. Akan tetapi dalam proses perjalanan ini kebimbangan saya bahawa pada syarikat-syarikat daripada negara China saya difahamkan tidak tahu betul atau tidak, ini yang saya minta daripada kementerian supaya meneliti secara mendalam. Syarikat ini sudah pun mempunyai dan dimiliki oleh beberapa peniaga daripada luar tetapi menggunakan orang tempatan. Transaction ini kalau hendak masuk pergi hotel dengan ada label Alipay bila masuk ke restoran ada Alipay yang restoran pun bukan lagi milik kita, yang tempatnya dan hotelnya kemungkinan, bukan saya hendak menghulu tidak. Akan tetapi kemungkinan bukan lagi milik orang tempatan, jadi semua transaction is done in China through Alipay. Tax pun yang kita hilang. Kita perlu lihat daripada segi kebaikan IT yang ada, kita gunakan. Akan tetapi jangan penggunaan IT ini akhirnya dia mengurangkan hasil negara Malaysia kita. Jadi ini yang merupakan perkara yang cukup penting kepada kita. Di samping kita hendak tingkatkan kemudahan-kemudahan sektor pelancongan yang ada saya juga menyarankan supaya keselamatan di peringkat Pantai Timur ini akan dapat kita mempertingkatkan dari masa ke semasa supaya banyak pelancong yang datang. Tuan Yang di-Pertua, saya ingat setakat itu sahaja yang saya hendak sampaikan pada hari ini. Walaupun saya tahu banyak perkara boleh timbulkan tetapi setakat untuk menyentuh Titah Diraja oleh sebab agak singkat Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya berhubung kait dengan beberapa perpaduannya dari segi peranan FELDA, dari segi tanah yang ada, harga kelapa sawit perlu dilihat dengan serius. Jangan hanya kita laungkan we are better off di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Sebenarnya banyak kerugian kalau kita melihat, kalau kita dapat menuntut supaya hak orang Sabah dapat kita bukan hanya hormati, kenal pasti, recognize, it is timely for us to implement that. Itu terkandung dalam perjanjian yang telah kita meterai tahun 1963. Bila saya suara Tuan Yang di-Pertua, tidak bererti saya benci sama orang Semenanjung, saya sayang kerana isteri saya orang Kedah. Bukan setakat zuriat saya tetapi for the love of my country saya sanggup berkorban apa sahaja semata-mata untuk kita hilangkan jawatan, kita pangkat kita kerana kita sedar dan tahu perkara ini penting kepada negara Malaysia. Sekian, terima kasih banyak Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Baram.

Tuan Anyi NgauPDP · GPSBaram

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana peluang ini sekali berbahas dalam Dewan ini. Tuan Yang di-Pertua, rakan kita di luar, rakyat jelata bila tahu berkenaan tentang Dewan Undangan Parlimen atau Dewan Undang Negeri mereka beranggapan bahawa inilah medan dia untuk kita perjuangkan nasib bangsa, nasib negara kita ini.

Tuan Anyi NgauPDP · GPSBaram

Sudah pasti, saya sebagai wakil kaum minoriti dan yang kebetulan juga memang dari kawasan pendalaman, sudah pasti kita menganggapkan bahawa Dewan Parlimen ini merupakan Dewan ataupun tempat yang paling sesuai untuk kita memperjuangkan nasib bangsa dan negara kita ini. Namun dalam keadaan yang sebegitu, saya sebagai wakil rakyat dari kawasan luar bandar, di mana pembangunan masih lagi amat-amat diperlukan dan dengan mengambil kira beberapa Ahli Yang Berhormat yang ada dalam Dewan ini, yang juga mempunyai perjuangan dan juga mempunyai kewajipan untuk membentangkan nasib pengundi-pengundi ataupun rakyat di kawasan masing-masing. Sudah pasti ini akan menjadi satu dilema kepada kita semua, lebih-lebih lagi kepada pihak yang mentadbir uruskan negara kita ini demi untuk menyejahterakan rakyat kita, tanpa kita memilih siapa kita dalam negara ini. Kita juga maklum Tuan Yang di-Pertua, bahawa dalam negara kita ini kita mempunyai banyak bangsa, lebih banyak agama dan sejak kemerdekaan, kerajaan yang ada tetap memperjuangkan nasib bangsa, nasib rakyat di negara kita ini. Sudah semestinya apabila ini menjadi tanggungjawab, ini menjadi kewajipan kita bersama, sudah pasti ada yang mungkin diutamakan dan mungkin ada juga yang diketepikan untuk satu ketika, untuk dimajukan dalam masa-masa yang akan datang. Jadi bagi saya, inilah hakikat yang kita hadapi apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menguruskan negara kita ini bersama-sama dengan rakan-rakan beliau yang ada ini. Sudah pasti bajet yang kita ada setiap tahun itu memang kita rasa, ia memang satu jumlah yang begitu besar, sehingga kita kata ia beratus bilion untuk kita mentadbir uruskan negara kita ini, tetapi hakikat dia, inilah saya rasa apa yang orang kata to manage the unlimited resources is not as easy as it is said to be, dengan izin. Tuan Yang di-Pertua, sebagai rakyat biasa, sebagai rakyat dari kawasan luar bandar, sebagai rakyat yang juga dari kaum minoriti, saya percaya inilah medan dia, dengan kerjasama daripada semua pihak untuk kita menentukan sama-sama, memastikan agar apa yang di titahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu akan menjadi kenyataan dalam masa yang akan datang ini. Saya mewakili kaum minoriti, kalau hendak tengok kaum minoriti mungkin tidak sampai pun 300,000 orang di Malaysia ini. Akan tetapi, kaum minoriti ialah kaum terdiri juga orang kata Orang Ulu yang juga katakan mungkin orang Bisaya, yang juga orang Bidayuh sebab kita Orang Ulu di negeri Sarawak yang juga merupakan orang peribumi di negara ini. Bilangan kita tidak cukup, tidak besar namun dalam keadaan yang kita ada ini, oleh sebab kita ini berpaksikan kepada kesederhanaan, maka kita kaum Orang Ulu, khususnya kita di Baram, mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional. Ini kerana dalam masa yang sudah ini telah pun dan saya percaya akan terus memperjuangkan nasib supaya rakyat kita di kawasan pendalaman, bukan sahaja kawasan kaum Orang Ulu tetapi di seluruh kawasan-kawasan pendalaman ini dapat juga menikmati kemudahan-kemudahan yang ada di bandar ini pada hari ini. Mudah-mudahan ini juga akan di translate-kan menjadi kenyataan untuk dinikmati oleh kita di kawasan luar bandar ini. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan sebab dalam dua, tiga tahun ataupun sepenggal ini Kerajaan Barisan Nasional telah pun orang kata meluluskan satu peruntukan yang begitu besar, untuk membangunkan kawasan luar bandar dan ini telah pun diterjemahkan kepada kita di luar termasuk kawasan Baram dan dengan with all the conscience, dengan kesedaran bahawa rakan-rakan kita yang lain pun juga memerlukan pembangunan yang serupa untuk disampaikan kepada mereka ini.

Tuan Anyi NgauPDP · GPSBaram

Tuan Yang di-Pertua, kita Barisan Nasional telah pun melaksanakan beberapa projek asas di kawasan Baram. Ini termasuklah yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, khususnya berkenaan dengan menaikkan taraf jalan balak. Namun seperti insan biasa, mereka masih lagi memerlukan pembangunan yang berterusan dan saya percaya satu-satunya saluran yang ada ialah untuk kita terus menyokong Barisan Nasional untuk masa yang akan datang ini. Tuan Yang di-Pertua, kita juga berterima kasih kepada kerajaan, kerana telah pun bekerjasama dengan kerajaan negeri di negeri Sarawak sehingga saya difahamkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, telah pun ada janji supaya jikalau ada kemudahan asas seperti bekalan elektrik ini tidak dapat disempurnakan dengan cepat, kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat juga telah pun mempunyai satu perjanjian atau persetujuan supaya ini boleh dibahagikan 50/50 basis untuk dilaksanakan. Untuk disegerakan supaya rakyat di kawasan luar bandar, yang belum lagi menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air ini dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat. Saya percaya, ini adalah satu petunjuk yang begitu baik di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, di mana Barisan Nasional adalah pucuk pimpinan yang ada di kedua-dua peringkat ini. Inilah saya percaya, satu daripada saluran untuk kita bekerjasama antara satu sama lain untuk mempercepatkan, God willing to speed up the development of this country to ensure that all these basic needs akan dinikmati oleh semua kelompok ataupun semua rakyat di negara kita ini.

Tuan Anyi NgauPDP · GPSBaram

Tuan Yang di-Pertua, awal tadi saya kata saya memang dari kaum minoriti. Bukan kita hendak membeza-bezakan tetapi kita kaum minoriti ini cukup, boleh dikatakan senang hati-lah dengan keadaan yang ada. Namun dalam keadaan yang serupa, seperti insan biasa adalah kesilapan ataupun kelemahan yang kita hadapi ini. Saya ambil contoh kaum minoriti di Sarawak di mana saya difahamkan ada 24 kelompok dan ini terdiri daripada kaum Kayan, Penan, Kelabit, Bisaya, Kenyah, Berawan dan ada banyak lagi itu. Kaum minoriti ini adalah peribumi. Namun pada masa ini, saya dengar aduan daripada sesetengah pihak yang mengatakan bahawa apabila mereka berurusan dengan agensi-agensi kerajaan, terdapat mungkin boleh kita katakan mereka terlepas pandang sehinggakan kaum minoriti ini, khususnya kaum Berawan ini dianggap- Mak bapa memang berstatus bumiputera, namun apabila anak cucu mereka mahu berurusan dengan agensi-agensi kerajaan, sistem penyampaian yang ada itu mungkin terlepas pandang hal ini sehinggakan mereka dinafikan hak ataupun keistimewaan untuk melabur ataupun terlibat di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) ini. Mungkin ini juga melibatkan agensi-agensi kerajaan yang lain. Namun seperti yang saya katakan awal tadi, ini mungkin kerana mak bapa memang berstatuskan Bumiputera, dapat terlibat dengan semua urusan yang ada kepada kita sebagai Bumiputera, tetapi anak cucu mereka hanya segelintir sahaja tidak diberikan keistimewaan- keistimewaan yang seperti ini. Saya merayu kepada agensi-agensi yang berkenaan agar memastikan mereka ini diberikan hak ataupun keistimewaan mereka sebagai kaum Bumiputera dan mudah-mudahan ini dapat melengkapkan lagi usaha kerajaan untuk kita menyejahterakan rakyat kita semua ini. Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengambil peluang ini sekali lagi untuk merayu kepada pihak Kerajaan Barisan Nasional supaya dapat meneruskan usaha-usaha pembangunan di kawasan Baram khususnya, dengan wujudnya Highland Development Agency (HDA) di peringkat negeri supaya pihak kerajaan yang memerintah dapat menyalurkan peruntukan yang secukupnya untuk pembinaan jalan di kawasan luar bandar khususnya di kawasan Baram ini. Kita mengalu-alukan supaya jalan dari jambatan Lapok sehingga ke Bario dapat dibina dengan segera walaupun ia tidak seperti highway yang kita ada di bandar ataupun in the city, tetapi yang kita hendak kalau dapat pun itu yang kita mahukan.

Tuan Anyi NgauPDP · GPSBaram

Akan tetapi dengan kesedaran bahawa peruntukan memang terhad, menguruskan limited resources ini memang payah, oleh itu kita minta supaya- seperti juga di jalan balak ini agar dinaikkan taraf dan juga jalan utama ini juga perlu diberikan keutamaan dengan segera agar kawasan-kawasan di Baram ini dapat dibangunkan dan rakyat dapat menikmati kesejahteraan hidup seperti rakan-rakan kita yang berada di kawasan-kawasan lain. Dengan itu Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengatakan bahawa let everybody be fair to one another, biarlah kita ini memperjuangkan untuk bangsa kita dan jangan lupa kawasan kita tetapi demi untuk negara ini. So saya rasa itu sahaja yang dapat saya katakan, saya mohon untuk menyokong Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sekian, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Pagoh.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sidang Parlimen kali ini ialah yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan dan Pilihanraya Umum Ke-14 diadakan. Persoalan yang bermain di fikiran sebahagian besar rakyat ialah bukan sahaja parti mana yang akan menang pilihan raya dan membentuk kerajaan, tetapi yang lebih penting ialah ke mana hala tuju negara kita selepas ini. Dalam banyak kajian yang telah dibuat, rata-rata rakyat tidak berpuas hati dengan hala tuju negara kita. Majoriti merasakan bahawa Malaysia tidak berada pada haluan yang betul. Mereka merungut tentang masalah kos sara hidup yang menekan, pendapatan yang tidak meningkat, peluang pekerjaan yang terhad, masalah lambakan pekerja asing, harga rumah yang mahal, kos perubatan yang tinggi dan lain-lain lagi. Ya, sejak beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah pun mencipta nama di persada dunia dengan kemajuan ekonomi yang pesat dan politik yang stabil. Akan tetapi, mutakhir ini tahap kesejahteraan rakyat semakin dipersoalkan. Bukan setakat itu sahaja, hari ini nama Malaysia tidak seharum dulu lagi. Saban hari media antarabangsa mendedahkan penyelewengan demi penyelewengan yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan. Telah hilang maruah dan integriti negara yang kita pertahankan selama ini. Sedang rakyat bergelut dengan masalah kos sara hidup, tersiar di media antarabangsa berita mengenai sebuah kapal layar mewah milik kawan rapat Perdana Menteri dikatakan dirampas oleh pihak Indonesia. Kapal layar ini yang kita tahu bernilai RM1 bilion dibeli dengan menggunakan wang 1MDB iaitu syarikat yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri yang urus niaganya disiasat oleh lebih enam buah negara di dunia atas tuduhan penggubahan wang haram. Pendedahan media antarabangsa mengenai penglibatan Perdana Menteri dalam skandal penyelewengan berbilion ringgit wang negara ini amat memalukan saya dan pastinya rakyat Malaysia. Persoalan yang dibangkitkan, di mana maruah kita sebagai rakyat Malaysia? Jika berita-berita itu dikatakan berita palsu ataupun fitnah, kenapa tidak diambil tindakan untuk menyaman pihak-pihak yang terbabit? Kita tidak mahu dalam keadaan negara kita mencapai tahap kemajuan ekonomi yang agak pesat, namun penyakit rasuah dan penyelewengan semakin melarat. Berbilion ringgit wang negara lesap, beban kutipan cukai ke atas rakyat semakin meningkat dan jumlah hutang negara juga naik dengan mendadak sehingga hampir RM1 trilion sekarang ini.

Skandal 1MDB ialah satu contoh klasik bagaimana sebuah syarikat milik kerajaan berhutang puluhan bilion ringgit untuk menampung penyelewengan yang dilakukan oleh pimpinan tertinggi negara. Hutang ini tidak digunakan untuk menjadi keperluan rakyat tetapi sebaliknya disalahgunakan untuk menampung kehidupan mewah pimpinan negara. Akhirnya segala hutang-piutang ini terpaksa ditanggung oleh rakyat. Dalam bajet tahun ini, kerajaan dijangka mengutip hasil cukai GST sebanyak RM43 bilion tetapi sebanyak RM32 bilion dibelanjakan untuk membayar faedah dan caj hutang kerajaan.

Jadi Kerajaan Barisan Nasional mungkin tidak usah hendak membicarakan mengenai kemajuan ekonomi dan pembelaan terhadap nasib rakyat jika keadaan kita ini berterusan sebegini. Bagaimana kerajaan ingin membela nasib rakyat dalam keadaan rakyat semakin hari semakin dihimpit dengan kesempitan hidup. Adakah dengan memberikan BR1M sahaja sebanyak RM7 bilion tetapi mengutip cukai GST sebanyak RM43 bilion itu dikira sebagai membela rakyat? Adakah dengan menggunakan hak milik FELDA, Tabung Haji, MARA untuk memperkayakan kroni itu juga dikira sebagai membela rakyat? Jawapannya tentu tidak dan rakyat tidak akan hidup dalam keadaan yang sejahtera jika pemimpin tidak amanah. Bagaimana mungkin kesejahteraan rakyat dijamin jika hasil titik peluh mereka diperas oleh kerajaan yang diterajui oleh pimpinan yang mengamalkan rasuah ini. Sebagai contoh, seorang pekerja yang berpendapatan RM3,000 sebulan terpaksa membayar cukai GST sebanyak kiraannya RM180 sebulan, bermakna dalam masa setahun sebanyak RM2,160 diambil daripada poket pekerja dalam bentuk cukai GST dan duit inilah sepatutnya digunakan untuk membeli beras, susu anak-anak mereka, menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah sedangkan kita tahu Perdana Menteri pastinya berpendapatan jauh lebih lumayan dan sebagaimana yang dilaporkan menerima derma RM2.6 bilion tetapi beliau tidak langsung membayar apa-apa cukai pun. Maka, inikah bentuk kerajaan yang dikatakan mementingkan kesejahteraan rakyat? Duit rakyat dikutip dengan banyak sedangkan pemimpin hidup mewah dengan hasil rasuah dan penyelewengan tanpa perlu membayar apa-apa cukai. Ini bukanlah sebuah kerajaan yang didirikan untuk membela nasib rakyat, ini adalah sebuah kerajaan yang disebut sekarang ini sebagai kleptokrat yang bertujuan semata-mata untuk mencuri khazanah negara dan hak milik rakyat. Oleh sebab itu saya percaya kerajaan seperti ini akan ditolak dalam pilihan raya... [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, amalan demokrasi dan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil adalah mercu tanda sebuah negara yang maju dan bertamadun. Namun saya khuatir pilihan raya umum yang ke-14 yang akan datang ini akan dicemari dengan pelbagai bentuk penipuan dan penyalahgunaan kuasa. Ini kita tahu bahawa kerajaan dan juga Barisan Nasional secara umumnya berada di satu ambang yang saya jangka boleh kalah. Trend menunjukkan sokongan rakyat kepada BN semakin merosot. Dalam PRU yang ke-12 sebagaimana yang kita tahu BN gagal untuk mempertahankan majoriti dua pertiga. Dalam PRU yang ke-13, buat pertama kali dalam sejarah, undi popular BN merosot ke paras 47 peratus sahaja. Waktu itu kita tahu tidak ada isu-isu seperti yang disebutkan sekarang, 1MDB, GST dan isu-isu ekonomi yang dihadapi oleh rakyat. Saya pernah menjangkakan waktu saya berada di sebelah sana iaitu sokongan kepada BN kalau turun dua peratus pun, Barisan Nasional boleh kalah. Saya masih ingat dalam ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Hari ini dengan pelbagai skandal yang berlaku dalam negara kita yang melibatkan tokoh-tokoh dan pimpinan negara dan permasalahan rakyat yang saya kira gagal untuk diselesaikan, sokongan pada BN saya kira akan terus merosot ke paras sekitar 40 peratus. Ini berita baik bagi Pakatan Harapan... [Tepuk] Oleh kerana itu, jika dijangkakan PRU-14 akan menjadi antara pilihan raya terkotor dalam sejarah dan dijangkakan bahawa apa-apa cara akan dilakukan untuk pihak-pihak yang berkuasa untuk terus kekal berkuasa. Persempadanan semula kawasan pilihan raya yang saya percaya akan dibentangkan usulnya di sini adalah satu lagi perkara yang tentunya merupakan satu talian hayat untuk Barisan Nasional. Namun saya tahu bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya ini belum tentu menjamin kemenangan kerajaan. Persempadanan semula ini dibuat dengan andaian bahawa pengundi yang menjadi pengundi tegar BN pada PRU-13 kekal untuk mengundi Barisan Nasional dalam PRU yang ke14. Akan tetapi malangnya, andaian ini saya kira tidak boleh dapat diguna pakai kerana kita umum tahu di mana saja sokongan pengundi Melayu kepada kerajaan semakin merosot. Oleh kerana itu baru-baru ini Tuan Yang di-Pertua, SPR telah pun menambah beberapa kategori baru pengundi pos, petugas hospital, kakitangan imigresen, anggota bomba dan penyelamat, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan juga beberapa kategori kakitangan awam yang lain, tiba-tiba diwartakan oleh SPR sebagai pengundi pos.

Mungkin Pengarah Pilihan Raya BN yang baru ini pun tahu bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya masih belum tentu dapat menjamin kemenangan Barisan Nasional. Maka kategori pengundi pos ditambah, mungkin untuk menjadi satu lagi talian hayat untuk Barisan Nasional. Jadi saya hendak bertanya kepada SPR, berapa jumlah keseluruhan kakitangan kerajaan dalam kategori baru ini yang didaftarkan sebagai pengundi pos. Di mana tempat mereka membuang undi? Di mana karung-karung undi disimpan sebelum kertas undi dikira? Bagaimana hendak memastikan bahawa karung-karung undi ini selamat? Adakah ada jaminan karung undi ini tidak ditukar, disimpan selama beberapa hari sebelum dikira. Adakah wakil daripada semua parti dibenarkan untuk mengawal karung-karung undi tersebut? Ini antara persoalan pokok yang saya kira pihak Suruhanjaya Pilihan Raya harus menjawab. Selain itu, parti-parti pembangkang tidak putus-putus diasak dan ditekan oleh Pendaftar Pertubuhan. DAP diarah untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan selepas itu PPBM diugut untuk dibatalkan pendaftarannya setelah permohonan untuk menangguhkan Perhimpunan Agung Tahunan pada tahun lalu ditolak. Kita akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan dengan mengadakan Perhimpunan Agung pada 30 Disember 2017, selaras dengan Perlembagaan parti. Akan tetapi beberapa hari yang lalu, Pendaftar Pertubuhan menyerahkan notis di bawah seksyen 14(2), Akta Pertubuhan 1966 mengarahkan PPBM supaya menyerahkan beberapa maklumat kepada Pendaftar Pertubuhan dan jika Parti Peribumi Bersatu Malaysia gagal untuk mematuhi arahan dalam notis ini, kononnya PPBM boleh dibubarkan.

Saya hendak bertanya pada pihak Pendaftaran Pertubuhan di bawah Menteri Dalam Negeri, apa salah kami? Di mana silapnya? Setahu saya segala apa yang telah ditetapkan dalam peraturan-peraturan dan perlembagaan parti telah kami patuhi dan perkara yang berkaitan dengan Akta Pertubuhan pun telah kami ikuti dan kami akan seterusnya sentiasa patuh pada undang-undang dan perlembagaan parti. UMNO yang terang-terang melanggar perlembagaan parti, dengan menangguhkan pemilihan melebihi tempoh 18 bulan seperti yang ditetapkan oleh perlembagaannya, tidak diambil sebarang tindakan pun. Saya bercakap kerana saya pernah jadi Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan UMNO. Jadi mereka tidak boleh tipu saya...

[Dewan ketawa]

Mereka berkata bahawa hayat UMNO masih ada diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan, ‘seksyen 10(1)(7)’. Bila kami semak balik dalam Perlembagaan UMNO, tidak ada fasal itu. Apa yang ada 10.1(6) sahaja. Kenyataan oleh Setiausaha Agung UMNO yang juga Menteri Wilayah, pastinya satu pembohongan. Persoalannya sekarang ini, apa status UMNO? Kenapa ROS tidak ambil tindakan? Adakah ROS ini mengikut telunjuk pada Kerajaan BN sahaja? Di mana keadilannya? Saya hendak minta supaya ini dijelaskan pada pihak kita. Tuan Yang di-Pertua, Malaysia telah pun merdeka selama 61 tahun.

Yang Berhormat Pagoh, Yang Berhormat Pagoh, sedikit sini.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Batu bangun Yang Berhormat.

Sedikit saja. Pada masa yang sama saya hendak dapat pandangan dari Yang Berhormat Pagoh. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan konco-konconya sentiasa serang kata Pakatan Harapan tidak berani menggunakan satu logo. Padahal kenapa sehingga sekarang, permohonan kita untuk mendaftarkan Pakatan Harapan tidak dibenarkan. Apa pandangan Yang Berhormat Pagoh?

Jawabnya takut. Kalau dalam sistem demokrasi ini apa yang takut. Pakai satu simbol, parti bergabung, macam mana konsep Barisan Nasional yang saya juga tahu dulu.

Jadi kalau pihak pembangkang sudah mewujudkan satu muafakat dinamakan Pakatan Harapan, hendak didaftarkan supaya boleh beroperasi secara sah, apa yang dibimbangkan? Kalau benarlah Barisan Nasional kukuh dan kuat, dapat sokongan besar daripada rakyat. Apa bimbang? Itu saya hendak jelaskan satu perkara yang agak tidak wajar dan seharusnya permohonan daripada Pakatan Harapan itu diluluskan. Inilah sistem demokrasi yang kita amalkan di Malaysia ini. Tuan Yang di-Pertua, bagaimana yang saya sebutkan tadi kita telah merdeka 61 tahun. Segala institusi dan undang-undang yang berkuat kuasa pada masa ini, diwarisi daripada zaman yang lampau dan tidak banyak pembaharuan yang dibuat untuk memperkukuhkan institusi demokrasi. Sedangkan sistem Westminster yang menjadi asas kepada sistem Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di Malaysia, telah pun mengalami banyak perubahan. Saya fikir sudah sampai masanya satu reformasi institusi yang menyeluruh dilaksanakan untuk menjamin kewujudan sebuah kerajaan yang bersih, pemimpin yang amanah dan undang-undang yang melindungi hak rakyat. Segala masalah yang kita hadapi hari ini berpunca daripada kegagalan institusi negara untuk memperbetulkan keadaan, apabila keadaan menjadi tidak terkawal. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang dikatakan menyeleweng berbilion Ringgit wang negara kekal berkuasa kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak berani untuk menyiasat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Ketua Polis Negara tidak berani hendak tangkap kalau ada jelas terbukti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melakukan kesalahan. Peguam Negara pun juga tidak berani. Semua orang tidak berani. Saya hairan kenapa dalam Malaysia yang bebas ini, ada orang takut untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Tuan Yang di-Pertua, pilihan raya diadakan untuk memilih parti yang akan membentuk kerajaan dan melantik Perdana Menteri tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya nampak macam tidak berapa bebas. Dalam keadaan ini, saya tidak nampak bagaimana Malaysia boleh kembali berada pada haluannya yang betul jika pimpinan kerajaan yang sedia ada ini terus memerintah negara. Reformasi institusi tidak akan dilaksanakan oleh Barisan Nasional kerana segala institusi yang ada inilah yang menjadi talian hayat untuk mereka. Malah jika Kerajaan BN dibiarkan terus berkuasa, semua institusi yang ada akan terus dimanipulasi untuk memperkukuhkan kuasa. Akhirnya, hilanglah dan lenyaplah integriti dan akauntabiliti kerajaan dan kita sebagai Ahli Dewan Rakyat, Dewan yang mulia ini, memikul amanah untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada mereka menerusi Parlimen. Akan tetapi dalam keadaan segala institusi negara yang telah dirosakkan oleh Barisan Nasional, fungsi kita akan lenyap begitu sahaja dan amanah kita kepada rakyat, tidak mungkin dapat kita laksanakan. Tuan Yang di-Pertua, saya mendoakan Allah SWT...

Minta laluan. Sikit, sikit. Sikit saja. Yang Berhormat Bachok.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Ya.

Saya mengamati ucapan Yang Berhormat Pagoh dan saya menanti jawapan apa yang saya sebut dan bangkitkan dalam ucapan saya tadi. Yang Berhormat Pagoh berceramah di kawasan saya di Bachok, menyatakan bahawa Tuan Guru Haji Hadi, Presiden PAS menyokong GST. So, daripada mana Yang Berhormat Pagoh baca dan sumber rujukan? Minta jawapan.

Saya baca daripada banyak laporan media, dalam media sosial dan kenyataan-kenyataan itu ditentukan oleh pelbagai pihak yang saya semak dan itulah kenyataannya. Kalau sekiranya dikata tidak betul, sepatutnya ada satu kenyataan yang lain yang katanya, “Ini bukan disebutkan oleh Tok Guru’’. Jadi sebab itu saya sebut ialah berdasarkan apa yang saya baca daripada laporan- laporan yang saya baca dalam media sosial.

Saya sikit...

Saya cuma hendak tamatkan ucapan saya, Tuan Yang di-Pertua.

Sikit, sikit.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Masa sudah habis Yang Berhormat. Masa...

Saya mengucapkan terima kasih...

Saya hendak baca Hansard Parlimen yang mencatat kenyataan Tuan Guru Presiden PAS. Soalan pada 18 Oktober 2016, Presiden PAS kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan. Dato’ Seri Abdul Hadi [Marang] minta Menteri Kewangan menyatakan, sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat, tidak mengira kaya atau miskin dan mengambil mekanisme lain yang lebih adil, saksama dan tidak membebankan rakyat. Adakah ini sumber rujukan Yang Berhormat Pagoh? Langsung tidak menggambarkan bahawa ini sokong GST. Yang Berhormat, ini satu fitnah dan saya minta Yang Berhormat supaya menarik balik kenyataan ini...

[Dewan riuh]

Ini Hansard Parlimen. Yang Berhormat sebagai Timbalan Perdana Menteri sudah lama sudah. Takkan tidak faham tentang Hansard Parlimen...

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Ya, ya.

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Yang Berhormat Pagoh.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Dia telah berbangkit tarik balik Yang Berhormat, kerana dalam ceramah itu. Ya, teruskan.

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Ya, dalam Hansard kita pun...

Minta maaf, minta maaf. Ini fitnah.

Saya hendak jelaskan Tuan Yang di-Pertua, perkara itu telah saya sebutkan tetapi saya hendak habiskan ucapan saya dengan mendoakan...

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Ya.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Shah Alam duduk.

Mudah-mudahan dalam pilihan raya yang akan datang ini, kita tidak duduk sebelah sini... [Merujuk kepada blok pembangkang] Dan insya-Allah, akan seberang di sebelah sana... [Merujuk kepada blok kerajaan] Untuk menerajui Kerajaan Pakatan Harapan, insya-Allah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Tuan Yang di-Pertua, kenyataan Hansard yang dibaca tadi...

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Sudah habis Yang Berhormat. Sudah, sudah.

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Dia kata ganti dengan yang lebih adil.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Tanjong Piai.

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Dia tidak kata mansuhkan GST...

[Dewan riuh]

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Dia kata gantikan dengan yang lebih adil. Dia tidak kata dia menolak.

Yang Berhormat Shah Alam ini pandai putar belit.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang lain itu duduk. Saya cuma panggil Yang Berhormat Tanjong Piai, Yang Berhormat.

Esok kalau Yang Berhormat Pagoh berlawan dengan Yang Berhormat Shah Alam...

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Mereka telah berkecuali dalam undi. Macam mana... ditolak.

Ini putar belit. Ini jelas dalam Hansard disebut.

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Bacalah Hansard itu. ‘Ganti dengan yang lebih adil’.

Sudah baca dah. Takkan tidak dengar. Koreklah telinga itu...

[Dewan ketawa]

Dato’ Ahmad Fauzi ZahariUMNO · BNSetiawangsa

Steady Yang Berhormat Bachok...

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Ya, Yang Berhormat Tanjong Piai.

Tuan Khalid bin Abd. SamadAMANAH · PHShah Alam

Teruknya lah Yang Berhormat Bachok. Kasihan.

Apa yang teruk?

Dato’ Sri Wee Jeck SengMCA · BNTanjong Piai

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk berucap di Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Parlimen Ketiga Belas ini dan membawa beberapa usul kepada Dewan yang mulia ini. Pertama, saya ingin menyampaikan ucapan menjunjung kasih atas Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Majlis Pembukaan Sidang Dewan pada 5 Mac 2018 yang lepas. Tuan Yang di-Pertua, dalam titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dalam Majlis Pembukaan Sidang Dewan yang lepas menyatakan perdagangan luar negara dijangka akan kekal berdaya tahan selaras dengan aktiviti perdagangan global yang semakin meningkat dan merupakan salah satu destinasi pelaburan pilihan serta dapat menarik pelaburan yang lebih tinggi pada tahun 2018. Limpahan pembangunan wilayah Iskandar menjadikan Parlimen Tanjong Piai mendapat faedahnya dan banyak pelabur ingin melabur perniagaan di kawasan ini.

Dato’ Sri Wee Jeck SengMCA · BNTanjong Piai

Bagaimanapun halangan ketiadaan perkhidmatan talian telefon dan internet sangat mendukacitakan pelabur. Tanpanya urusan seharian orang ramai dan khasnya perniagaan akan tergendala dan industri akan menanggung kerugian. Maka keperluan perkhidmatan talian telefon dan internet adalah satu keperluan wajib kepada pembangunan ekonomi dan keperluan kehidupan seharian ini. Tuan Yang di-Pertua, talian yang sedia ada sering dicuri kerana masih menggunakan talian copper. Namun sudah sampai masanya gantian optik haruslah digunakan di semua kawasan Parlimen Tanjung Piai khasnya yang ternyata lebih efektif, stabil dan tidak akan dicuri lagi walaupun kos yang agak tinggi. Akibat kecurian kabel talian telefon pihak TM telah menyediakan sistem internet tanpa wayar tetapi kosnya amat tinggi dan tidak ekonomi kepada pengusaha atau kilang berskala kecil.

Dato’ Sri Wee Jeck SengMCA · BNTanjong Piai

Selain itu juga saya telah menerima aduan daripada penduduk-penduduk di kawasan Pekan Nanas, Permas Besar, Kukup, Pontian, Johor mengenai masalah gangguan perkhidmatan talian telefon dan internet yang berlarutan sejak bulan November 2017 lagi dan ia telah menjadi rungutan pelbagai pihak meskipun pihak TM dalam kerja-kerja pembaikan. Sehubungan dengan itu, saya mohon jasa baik pihak TM agar dapat memberikan ganti rugi, free charges kepada pengguna-pengguna Telekom yang terlibat dalam masalah gangguan berkenaan sehingga perkhidmatan tersebut dapat dibaik pulih kerana tiada perkhidmatan internet atau telefon yang sempurna selama hampir lima bulan. Oleh yang demikian, saya memohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak Telekom Malaysia menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meneliti kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh TM dan mencari jalan untuk memperbaiki dengan segera perkhidmatan yang diberikan dan saya berharap pihak TM mengambil serius perkara ini bagi memastikan pembangunan perniagaan, perkilangan dan kawasan perumahan penduduk di kawasan Parlimen Tanjung Piai terutama di kawasan Pekan Nanas dan Kukup yang merupakan satu destinasi pelancongan tidak terjejas. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membawa semula satu isu yang amat penting dan mendesak. Perkara ini telah dibawa lagi untuk perhatian Kementerian Dalam Negeri iaitu berhubung dengan kekurangan anggota di Balai Polis Pekan Nanas yang masih belum ada tindakan tuntas daripada pihak Polis Diraja Malaysia. Kepesatan pembangunan ekonomi di kawasan Pekan Nanas menjadikannya suatu kawasan yang berkembang pesat dan sehingga kini penduduk di kawasan Pekan Nanas mencecah seramai 50,000 penduduk. Daripada jumlah tersebut dianggarkan terdapat 5,000 pekerja asing dari pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, Nepal dan sebagainya. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, terdapat dua buah balai polis di kawasan Parlimen Tanjung Piai iaitu Balai Polis Pekan Nanas dan Balai Polis Permas di kawasan DUN Kukup. Secara perbandingan indeks jenayah di antara dua balai polis ini amat ketara perbezaannya di mana pada tahun 2017 terdapat 76 kes dilaporkan di Balai Polis Pekan Nanas berbanding hanya sembilan kes di Balai Polis Permas. Secara lebih khusus, kejadian kes jenayah di Pekan Nanas dalam kategori curi motor adalah sebanyak 52 kes dilaporkan sehingga September 2017 berbanding hanya 40 kes pada tahun 2016. Contoh indeks jenayah ini memberikan gambaran betapa besar kejadian jenayah yang berlaku di kawasan Pekan Nanas. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin sekali lagi membawa ke Dewan yang mulia ini berhubung dengan satu kes pembunuhan yang berlaku di Pekan Nanas pada 23 hari bulan Oktober 2017 di mana seorang warga emas bernama Lee Choi Kuan, 61 tahun telah dibunuh dan difahamkan akibat balas dendam dan sehingga kini suspek pembunuhan masih belum dapat dikesan dan tiada sebarang maklum balas positif yang diterima daripada pihak polis kepada keluarga mangsa. Kejadian tersebut menjadi isu yang masih belum dijawab dan masyarakat serta keluarga mangsa amat memerlukan penjelasan berhubung dengan perkembangan siasatan jenayah tersebut. Saya percaya kes-kes yang berlaku adalah berkaitan dengan kekurangan anggota polis yang memberi kesan kepada tindakan pantas dan berkesan. Secara perbandingan juga, jumlah perjawatan sewaktu Balai Polis Pekan Nanas ditubuhkan pada tahun 1970-an adalah 29 orang dan jumlah ini lebih tinggi daripada anggota sekarang kini hanya 23 orang. Dengan pecahan satu orang Ketua Balai, satu orang Sarjan, empat orang Koperal dan selebihnya seramai 17 orang terdiri daripada lain-lain pangkat. Kekurangan anggota di Balai Polis Pekan Nanas ini sangat tidak munasabah berbanding dengan penduduk yang saya percaya hanya di sekitar 5,000 orang pada tahun 1970an berbanding sekarang telah mencecah 50,000 penduduk. Jawapan Menteri Dalam Negeri kepada pertanyaan lisan pada Parlimen yang lepas mengatakan perbincangan di antara HR di KDN dan PDRM akan diadakan untuk penambahan bilangan anggota polis di Pekan Nanas namun Menteri juga mengatakan anggota polis adalah tidak dikhuatiri kerana indeks jenayah di Pekan Nanas agak menurun berbanding tahun-tahun yang lepas. Akan tetapi untuk makluman Dewan yang mulia ini, saya telah menerima banyak aduan berkaitan kes-kes kecurian dan pecah rumah sehingga ia telah membimbangkan penduduk di kawasan Pekan Nanas.

Dato’ Sri Wee Jeck SengMCA · BNTanjong Piai

Maka saya berharap pihak Kementerian Dalam Negeri agar tindakan yang sewajarnya diambil supaya dapat menenteramkan kebimbangan dan kerisauan penduduk di Pekan Nanas. Sehubungan dengan itu, saya sekali lagi memohon Kementerian Dalam Negeri dan pihak PDRM yang saya percaya juga mengetahui permasalahan ini supaya tanpa bertangguh lagi untuk menambah sekurang-kurangnya 10 orang anggota baharu untuk bertugas di Balai Polis Pekan Nanas bagi menangani aspek keselamatan di kawasan Pekan Nanas yang akan terus membangun seiring dengan pembangunan pesat Wilayah ISKANDAR Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, saya juga memohon pihak kerajaan meneruskan pembinaan sebuah Kompleks Balai Polis baharu di Pekan Nanas memandangkan bangunan sedia ada sejak 1970-an sudah usang dan kecil. Ini perlu bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan memberikan imej kerajaan yang lebih tinggi di kaca mata masyarakat. Tuan Yang di-Pertua, isu jalan utama Pekan Nanas ke Pontian sentiasa menjadi topik perbualan dan perbahasan masyarakat di Pontian khasnya di Parlimen Tanjung Piai. Jalan sepanjang lebih kurang 18 kilometer tersebut benar-benar menuntut kesabaran yang tinggi di kalangan ribuan penggunanya setiap hari. Jalan yang bergelombang dan beralun dengan rekahan di sana sini sangat membahayakan pengguna khasnya penunggang motosikal. Sesetengah rekahan adalah seperti parit dan boleh menyebabkan kemalangan. Beberapa kejadian kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada keadaan jalan yang tidak baik ini. Saya difahamkan pihak JKR telah menjalankan kajian dan cadangan-cadangan mengatasinya. Namun pembaikan yang dilakukan sangat minimum dan terpilih sahaja. Jalan tersebut perlu diperbaiki atau dinaiktarafkan untuk sepanjang jarak dari Pekan Nanas hingga ke bandar Pontian. Oleh sebab isu jalan Pekan Nanas ke Pontian ini bukanlah isu yang baharu, maka saya sangat berharap Kementerian Kerja Raya melihat dengan serius segala cadangan-cadangan dan kajian-kajian yang telah dibuat ke atas laluan jalan tersebut yang juga merupakan jalan protokol yang utama untuk ke Daerah Pontian khasnya dari Johor Bahru. Tuan Yang di-Pertua, isu tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas sehingga hari ini masih tiada tindakan penutupan muktamad walaupun tapak tersebut sebenarnya tidak mampu lagi menampung sampah-sampah yang dihantar ke tapak tersebut. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kejadian kebakaran telah berlaku di tapak tersebut pada 1 Disember 2017 berlarutan sehingga 12 hari. Kejadian kebakaran berikutnya berlaku lagi pada 25 Disember 2017 selama lima hari sehingga 30 Disember 2017.

Dato’ Sri Wee Jeck SengMCA · BNTanjong Piai

Kebakaran ketiga berlaku semula pada 6 Februari 2018 dan hanya berjaya dipadamkan pada 17 Februari 2018. Secara kasar, dalam tempoh tiga bulan tersebut iaitu daripada bulan Disember 2017 hingga Februari 2018, penduduk di sekitar menghidu bau asap sampah terbakar dan benar-benar menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Tuan Yang di-Pertua, saya yakin kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah tersebut tetap akan berulang lagi dan hanya menunggu masa yang sesuai lebih-lebih lagi dengan cuaca kering dan panas pada masa ini. Selain itu, kedudukan tapak di Pekan Nanas yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan penduduk sememangnya tidak sesuai lagi untuk dikekalkan. Pada masa sekarang juga, sebuah klinik kesihatan atau KK3 telah dibina pada jarak radius satu kilometer dari kawasan pelupusan sampah berkenaan. Situasi ini akan mengundang masalah bau yang saya percaya tetap akan berlaku. Jika demikian keadaannya, saya berharap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya satu tindakan yang sesuai atau penyelesaian muktamad seharusnya diambil dengan menutup terus tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas dan memindahkan ke lokasi baru yang lebih sesuai serta menggunakan kaedah pelupusan yang termoden. Tuan Yang di-Pertua, peranan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan elektrik ke premis dan industri sangat dihargai. Bagaimanapun, beberapa tindakan kakitangannya dalam membanteras sambungan haram adalah tidak berhemah dan mengundang rasa tidak puas hati pemilik atau pengusaha.

Dato’ Sri Wee Jeck SengMCA · BNTanjong Piai

Pihak kami mendapat aduan bahawa kakitangan TNB datang ke premis dan terus memotong bekalan elektrik tanpa berjumpa dengan pengusaha atau wakilnya. Dalam bekalan elektrik tanpa berjumpa dengan pengusaha atau wakilnya, situasi begini terdapat banyak persoalan timbul. Pertama, adakah pemilik atau pengusaha tersebut benar-benar membuat sambungan haram seperti yang didakwa? Kedua, jika sambungan haram memang tidak berlaku tetapi dengan pemotongan tersebut operasi kilang terhenti dan pengusaha menanggung kerugian tanpa sebab. Justeru, saya memohon Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan pihak TNB supaya tindakan berhemah hendaklah dilakukan agar tidak berlaku salah tangkapan dan salah guna kuasa. Adalah dicadangkan sebelum pemotongan dibuat, pihak kakitangan hendaklah berjumpa dengan pengusaha atau wakilnya dan ditunjukkan di mana perlanggaran syarat itu berlaku. Ini dapat mengelakkan situasi tidak harmoni berlaku. Jika benar berlaku penyambungan haram, maka keluarkanlah sahaja notis atau saman dan biarlah perkara ini diadili di mahkamah dan tidak perlu bekalan elektrik diputuskan. Jika memang dibuktikan bersalah, maka kenakanlah denda dan penalti yang sesuai. Kalau tidak, maka pengusaha akan mengalami kerugian berganda. Operasi terhenti dan masa terbuang menangani perkara yang tidak seharusnya berlaku, Tuan Yang di-Pertua, isu seterusnya adalah mengenai masalah lampu jalan. Lampu jalan dari Pekan Nanas melalui Kampung Ulu Pulai sejauh 15 kilometer telah menjadi laluan alternatif utama ke Johor Bahru dan Singapura dari arah Pontian. Jalan tersebut dilalui ribuan kenderaan dari pagi hingga ke malam. Oleh kerana laluan jalan ini melalui kampung, maka pada waktu malam ia menjadi laluan yang berbahaya disebabkan laluan yang gelap akibat ketiadaan lampu jalan yang cukup. Maka saya memohon Kementerian Kerja Raya dapat mengambil tindakan agar sepanjang jalan dipasang lampu sebagai langkah keselamatan dan bukan sahaja untuk mengelakkan kemalangan tetapi juga menghindari kes jenayah. Tuan Yang di-Pertua, isu terakhir ialah penambahan penduduk di daerah Pontian sekarang ini telah mencecah 126,000 orang. Kesan daripada pembangunan di sekitarnya dan memerlukan sebuah hospital yang mampu memberi perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan hari ini. Isu ini saya telah bangkit pada sidang Dewan yang lepas tetapi malangnya tiada jawapan. Jadi saya berharap hospital sedia ada di Pontian yang sudah jauh ketinggalan ketika hospital-hospital baru telah dibina di daerah lain disebabkan ketiadaan dewan bedah, maka semua kes yang melibatkan pembedahan utama terpaksa dipindahkan ke hospital di Johor Bahru atau Kulai. Hospital Pontian juga tidak mempunyai wad kelas pertama dan wad kelas kedua yang adapun amat terhad. Jadi, saya difahamkan telah ada cadangan untuk membina sebuah hospital baru di laluan jalan Johor namun sehingga hari ini masih belum terlaksana. Lokasi yang dipilih sangat sesuai untuk dibina hospital baru berdasarkan kedudukannya yang sangat strategik dan saya selaku Ahli Parlimen menyokong penuh cadangan tersebut namun sehingga hari ini, perkembangan tidak menunjukkan sebarang kemajuan. Suka saya mencadangkan Kementerian Kesihatan membina sebuah hospital baru yang moden dan lengkap dengan 200 katil dalam semua kategori sesuai dengan kepesatan pembangunan di Pontian. Oleh yang demikian, saya memohon Kementerian Kesihatan untuk melihat kembali cadangan tersebut dan melaksanakan pembinaan hospital baru di daerah Pontian yang lebih moden, sesuai dengan pembangunan di daerah ini. Selain daripada itu Tuan Yang di-Pertua, di Pekan Nanas, kami telah dapat sebuah klinik KK3 termoden dan telah siap dibina. Sehingga hari ini, saya ingin tahu bilakah KK3 ini akan mula beroperasi. Jadi dengan kata-kata ini, saya memohon menyokong titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Sandakan.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Tuan Yang di-Pertua, dalam lima tahun ini walaupun kerajaan kata ada membawa pembangunan dan progress kepada rakyat Malaysia tetapi hakikatnya rakyat jelata secara amnya tidak menikmati dan merasa kebaikan daripada semua hasil pembangunan tersebut. Malahan kini kebanyakan rakyat jelata berasa semakin susah dan tertekan. Kos sara hidup semakin naik tetapi gaji tidak naik. Harga rumah semakin naik sehingga anak-anak muda tidak lihat harapan. Graduan-graduan muda yang pakar dan berilmu terus meninggalkan negara kita ke negara asing. Mengikut Laporan Bank Negara, ini adalah kerana mereka tidak dapat mencari pekerjaan yang berpatutan. Dalam tahun 2015, kadar pengangguran di kalangan orang muda adalah amat tinggi. Pada tahun 2015, 10.7 peratus anak muda tidak mendapat pekerjaan. Kadar ini lebih tinggi daripada negara seperti South Korea dan juga di Vietnam dan lebih membimbangkan, kadar pengangguran di kalangan graduan universiti khususnya pemegang Bachelor Degree adalah tertinggi. Anak-anak muda kita sengsara. Malaysia tidak akan berjaya kalau kita tidak ada perubahan lagi. Masa depan kita lebih gelap dan sengsara. Tuan Yang di-Pertua, suara rakyat di kalangan orang ramai tidak senang difahami oleh pemimpin kita yang hanya makan quinoa. Mengikut laporan-laporan statistik, sebenarnya negeri Sabah walaupun diberkati dengan sumber asli yang kaya tetapi oleh sebab ditadbir oleh Kerajaan Barisan Nasional, ia terus menjadi negeri yang miskin dan terbelakang. Mengikut laporan dari Jabatan Statistik Negara, pekali gini di Sabah adalah tertinggi dalam Malaysia. Bukan sahaja tertinggi tetapi berbanding tahun lalu, ketidakseimbangan antara golongan kaya dan miskin di Sabah bertambah serius dalam tahun 2016. Ini menunjukkan Sabah di bawah pemerintahan Barisan Nasional, kekayaan dan hasil tertumpu di tangan sekeliling orang tertentu sahaja manakala kebanyakan rakyat jelata Sabah semakin miskin dan terdesak.

Tuan Yang di-Pertua, sudah tentu kita tahu hanya kroni-kroni yang dimanfaatkan, sedangkan rakyat jelata masih sengsara. Kalau kita lihat apa yang berlaku dalam skandal watergate melibatkan hampir RM1 bilion dirahsiakan dari Jabatan Air Sabah dan juga duit jambatan kereta api Sabah baru-baru ini sebanyak RM3 juta disonglap. Semua ini kita boleh nampak. Duit memang ada tapi semua dimasukkan dalam poket pegawai rasuah. Inilah menyebabkan corruption perception index di Malaysia semakin naik. Tuan Yang di-Pertua, dalam Rancangan Malaysia ke-11, kita baca statistik peningkatan GTP dari tahun 2011 ke 2015 di Sabah adalah antara semua negeri yang paling rendah. Hanya 3 peratus peningkatan sedangkan purata negeri lebih 5 peratus. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Barisan Nasional telah gagal mentadbir Sabah. Tuan Yang di-Pertua, pembangunan yang lambat, tambahan pula ketidakseimbangan pengagihan kekayaan di Sabah menyebabkan kebanyakan rakyat Sabah mendapat pendapatan yang rendah dari purata negara. Gaji menengah di Sabah adalah terendah di Malaysia iaitu hanya RM1,240. Bagaimana Sabah hendak survive dalam keadaan tersebut sedangkan Timbalan Ketua Menteri Sabah kata, sekurang-kurangnya perlu RM3 ribu baru boleh hidup di Kota Kinabalu. Tuan Yang di-Pertua, di Sabah gaji dan pendapatan yang rendah, kadar GST tetap bayar sama. Malahan, harga barangan lebih tinggi. Ini menyebabkan rakyat Sabah bayar GST lebih tinggi. Ini adalah sangat tidak munasabah. Akan tetapi Kerajaan Barisan Nasional langsung tidak peduli. Ini sebenarnya adalah dua, double injury bagi rakyat Sabah, khasnya kepada golongan yang miskin. Saya mahu ingatkan, mereka ini tidak berkemampuan bayar cukai pendapatan kerana mereka berpendapatan rendah. Malah, miskin kena cukai lagi GST. Ini tambah kesengsaraan mereka.

Tuan Yang di-Pertua, mengikut Laporan Bank Negara, harga rumah di Malaysia adalah amat tidak mampu milik. Sabah terus menjadi negeri yang paling tidak mampu milik di Malaysia. Kalau mengikut perkiraan Bank Negara bahawa harga maksimum rumah mampu milik ialah RM282 ribu. Manakala, di Sabah purata harga rumah ialah RM391 ribu pada tahun 2012 ini. Jadi, kini semakin sudah sampai RM200 ribu. Ini menunjukkan betapa serius keadaan di Sabah. Tuan Yang di-Pertua, sedangkan rakyat Sabah berpendapatan terendah di Malaysia, rumah di Sabah adalah paling tidak mampu milik. Keluarga buruh guna masa 11 tahun tanpa makan dan belanja, baru mampu beli sebuah rumah. Hampir dua kali ganda berbanding purata seluruh negara. Ini kajian yang dibuat dari Institut Rakyat berdasarkan statistik rasmi negara, inilah kesusahan yang sebenar berlaku di Sabah. Antara sebab yang dinyatakan oleh Bank Negara ialah ketidakcukupan rumah mampu milik di Sabah. Mengikut jawapan dari kementerian pada tahun yang lalu, kerajaan janji dalam manifesto PRU-13 bahawa dalam 5 tahun ini menyasarkan akan membina 70,310 buah PR1MA. Akan tetapi sehingga hujung tahun 2017, hanya 17,655 buah PR1MA. Hanya 24 peratus janji ditunaikan. Malahan, kita perlu ingat PR1MA ini bukan untuk golongan yang paling miskin. Bagi yang miskin, kita perlu PPR untuk golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu beli rumah. Kita juga perlu laksanakan Skim Sewa Beli DBBR supaya boleh membantu golongan miskin ini boleh berkemampuan beli rumah sendiri. Di kawasan saya, Tuan Yang di-Pertua, Sandakan, ekonomi turut merosot. Dalam tahun yang lepas kita sudah kaji ada lebih 200 kedai tutup di Bandar Sandakan. Banyak kedai dibiarkan kosong, tidak ada orang mahu sewa dan 3 bangunan pejabat yang dulu sangat riuh rendah tetapi sekarang kini sudah langsung kosong dan dibiarkan sebagai bangunan hantu sebab ekonomi terlalu teruk. Manakala apa yang menjadi semakin banyak di Sandakan ialah kedai-kedai pajak gadai dan pinjaman peribadi ataupun loan shark yang semakin bertambah. Ini menggambarkan kewangan rakyat biasa semakin tertekan, kesuntukan kewangan menyebabkan mereka terpaksa pinjam wang dari loan shark. Akhirnya, wujudlah masalah masyarakat yang amat menyedihkan. Inilah gambar sebenarnya berlaku di kalangan orang ramai di Sandakan. Keadaan sebegini secara amnya menjelaskan kenapa anak-anak muda pindah ke bandar lain. Ianya adalah amat menyedihkan bagi warga Sandakan apabila melihat bandar Sandakan menjadi macam begini. Tuan Yang di-Pertua, satu isu lagi saya mahu bangkit sini harus diberi perhatian ialah harga penerbangan ke Sandakan dari KL dan vice versa pada musim perayaan. One way ticket ini, dengan izin, boleh sampai RM1,500. Ini amatlah membebankan warga Sandakan yang bekerja dan belajar di Semenanjung. Saya minta dua-dua penerbangan ini, MAS dan AirAsia harus mempraktiskan social responsibility dengan jangan seolah-olah buat keuntungan ke atas rakyat kita. Saya cadangkan supaya harus letak satu ceiling price seperti RM600 buat laluan Sandakan dan ke KL dan sebaliknya. Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini saya berasa bimbang juga kerana melihat kes jenayah berkenaan dadah semakin serius, bukan saja di Sabah dan seluruh Malaysia. Mengikut statistik bilangan penagih dadah di seluruh negara semakin meningkat dari bilangan 19,531 orang pada tahun 2011. Naik ke 30,844 orang pada tahun 2016. Ini menunjukkan betapa serius penagihan dadah di seluruh negara. Di Sabah, meningkat dengan secepat mungkin dari 261 orang pada tahun 2012, naik empat kali ganda ke 1,044 orang pada tahun 2016. Baru-baru ini, dua kes percubaan menyeludup dadah berlaku di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan Sandakan. Mengikut laporan media, di Lapangan Terbang Sandakan, 102.99 kilo dadah ditemui. Lima orang suspek ditahan. Ini merupakan kes berkaitan jenayah dadah yang paling serius di Sandakan. Saya ingin tanya kenapa meskipun PDRM ambil tindakan keras terhadap jenayah dadah selama ini, penagih dadah masih semakin meningkat dan kelajuan peningkatan itu adalah amat membimbangkan. Semua dadah ini yang masuk di Sabah ialah dari Kuala Lumpur. Jadi, kita harap ini satu masalah sosial. Pihak berkuasa semesti mahu ambil ini satu perkara yang serius.

Selain itu, baru-baru ini ahli-ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf di laporkan dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis berhampiran ladang kelapa sawit di Batu 2, Jalan Kalabakan, Keningau, Tawau. Walaupun suspek ditembak mati tetapi orang ramai berasa bimbang kerana Abu Sayyaf kemungkinan berada di kalangan masyarakat orang ramai.

Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini juga nelayan di Kinabatangan juga dilaporkan ditembak oleh bot dari Filipina berdekatan perairan Sandakan. Ini juga menimbulkan kebimbangan orang ramai khususnya nelayan dari Sandakan. Tambahan pula ia sekitar Pantai Timur Sabah, curfew masih berterusan. Keselamatan belum lagi dibaik pulih dengan sempurna. Kes-kes jenayah yang semakin meningkat menunjukkan bahawa keselamatan kita lebih teruk. Jadi baru hari ini news, Pengarah ESSCOM masih memberitahu ada 16 pengganas masih at wide, belum lagi ditangkap. Jadi persepsi rakyat jelata harap keadaan keselamatan kita masih kekal tidak selamat. Justeru Tuan Yang di-Pertua, saya hendak ulangi lagi ekonomi begitu merosot, peluang pekerjaan berkurangan, gaji dan pendapatan bertanggung, janji-janji manis Kerajaan Barisan Nasional banyak tidak ditepati. Anak-anak muda tidak dapat bekerja, yang layak tidak berkemampuan beli rumah. Kehidupan orang ramai semakin susah. Infrastruktur dibelakangkan biarpun jalan raya atau bekalan air atau elektrik masih tidak memuaskan di Sabah. SAIDI masih yang tertinggi seluruh di Malaysia. Tren kita di Sabah dari Kota Kinabalu di Inanam seperti pada zaman kroni berbanding yang dengan Semenanjung, LRT dan MRT yang begitu canggih. Penting sekali salah satu janji yang terbesar oleh Barisan Nasional pada PRU lepas iaitu laporan RCI untuk menyelesaikan masalah PTI di Sabah. Kini sudah lima tahun dan nampaknya belum ada apa- apa yang kita dengar dari jawatankuasa-jawatankuasa yang tubuhkan, yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Menteri Sabah. Ada ahli jawatankuasa ditubuhkan oleh kita, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan sebagainya. Saya ingat ini ada tiga ahli jawatankuasa yang ditubuhkan tetapi sampai hari ini kita tidak nampak apa-apa yang berlaku, apa-apa solution yang boleh menjadi dan menyelesaikan masalah ini. Jadi di sini Tuan Yang di-Pertua, saya harap kerajaan yang baru mesti ingat ini satu perkara yang serius dan utama dan harus diselesaikan. Jadi harap ini kalau Barisan Nasional tidak mampu, harap kerajaan yang baru boleh selesaikan ini dengan secepat mungkin. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Merbok.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana mengizinkan saya untuk bersama dalam perbahasan kali ini. Saya juga ingin Menjunjung Kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas titah pembukaan Parlimen pada tempoh hari. Tuan Yang di-Pertua, perbahasan saya pada kali ini amatlah bersetuju berkenaan dengan undang-undang bagi mengekang penyebaran berita palsu di media sosial. Perkara ini adalah penting kepada masa kini yang melibatkan penyebaran berita palsu. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ianya akan menyebabkan banyak kesan buruk akan berlaku. Antaranya adalah penyebaran fitnah yang berleluasa, keselamatan negara amat tergugat, ekonomi negara akan terjejas.

Oleh itu saya berharap dengan adanya undang-undang seperti ini dapat menyekat daripada pihak pembangkang yang selalu menyebarkan berita palsu, dengan hasrat itu, menjatuhkan kerajaan. Seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, kita juga perlu memainkan peranan dalam mempertahankan budi pekerti dan nilai moral melalui media sosial. Tuan Yang di-Pertua, dengan itu juga kita perlu mempertingkatkan nilai keselamatan ruang siber, meningkatkan keupayaan risikan dan mempertingkatkan rondaan sempadan dan perairan negara. Tahap keselamatan pada masa kini perlu sentiasa dinaiktarafkan dan selaras dengan teknologi terbaru. Tuan Yang di-Pertua, selain itu penambahbaikan infrastruktur dan pembangunan juga amat perlu dititikberatkan kerana ia melibatkan masyarakat di bandar dan di luar bandar. Sebagai contoh di Parlimen Merbok, adalah kawasan di mana majoritinya adalah kawasan kampung dan perlu perhatian daripada pihak kerajaan dalam membantu masyarakat di luar bandar. Dengan penambahbaikan infrastruktur dan pembangunan, dapat memberi sinar harapan kepada golongan B40. Tuan Yang di-Pertua, dengan itu juga kita perlu mempertingkatkan ciri-ciri. Selain daripada itu kerajaan juga amat mementingkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu menjadi 30 negara teratas dalam pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi. Saya mengharapkan yang harus diberikan kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana telah berjaya memacu negara kita ke arah kemajuan yang lebih tinggi. Sekiranya pembangkang memegang tampuk pemerintahan, nescaya pihak pembangkang tidak mampu untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik. Tuan Yang di-Pertua, sejak beberapa tahun kebelakangan ini sektor pertanian menjadi faktor utama bagi meningkatkan ekonomi yang lebih besar. Pelbagai teknologi yang serba moden yang telah dipelopori oleh para saintis untuk membantu mempertingkatkan hasil negara dan sumber makanan kepada rakyat. Antaranya adalah teknologi nano, biosensor bagi pengesanan beberapa penyakit pokok tumbuhan. Selain itu, isu masalah air di Parlimen Merbok juga perlu dilihat semula kerana ianya melibatkan hak asasi keperluan manusia. Ia berpunca daripada loji rawatan air yang bermasalah dan tidak dapat menampung keperluan penggunaan dan perlu dinaiktarafkan dengan secepat mungkin dan dengan ini ia dapat menyelesaikan masalah air.

Puan Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh

Minta penjelasan, Yang Berhormat Merbok.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Merbok hendak bagi jalan Yang Berhormat?

Puan Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh

Perdana Menteri kata kalau BN hendak rampas balik Selangor, dia akan selesaikan masalah air di Selangor.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNSekijang

Kacaulah, duduk lah Yang Berhormat Seputeh.

Puan Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh

Jadi, Yang Berhormat Merbok, kita kena minta Yang Amat Berhormat Pekan bagi tumpuan khas dulu. Jaga kawasan Barisan Nasional dulu sebelum dia datang kacau Selangor. Setuju kah Yang Berhormat Merbok?

Beberapa AhliKetawa] Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak

[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]

Di Merbok tidak ada masalah sangat. Semua hendak selesai saja.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNSekijang

Yang ada masalah dekat Selangor saja.

Selain itu, isu...

Puan Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh

Yang Berhormat baru cakap ada masalah air di Merbok.

Okey, saya ingin mengambil kesempatan untuk...

Yang Berhormat Seputeh tidak apa lah, tidak payah mandi tiga hari pun boleh duduk Selangor lah.

Duduk lah Yang Berhormat Bagan Serai, Yang Berhormat Bagan Serai pun masalah air banyak... [Dewan riuh]

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib kerana telah meluluskan peruntukkan tambahan untuk melebarkan Jambatan Semeling yang selama ini mempunyai masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku pada waktu kemuncak. Tuan Yang di-Pertua, selain itu juga saya bersyukur kerana projek pembinaan tempat letak kenderaan di Hospital Sultan Abdul Halim juga telah diluluskan dan dengan ini akan membuat seluruh masyarakat di Parlimen Merbok akan dapat menarik nafas lega. Di samping itu, projek perumahan nelayan di kawasan Tanjung Dawai juga telah pun berjaya disiapkan. Dengan ini kita boleh lihat pelbagai pihak Kerajaan Barisan Nasional sememangnya sentiasa membantu rakyat. Saya sebagai Ahli Parlimen Merbok sentiasa menyokong penuh segala usaha Kerajaan Barisan Nasional dalam memacu negara ke arah yang lebih cemerlang. Dengan ini saya dengan penuh rendah diri menyokong Titah Tuanku. Sekian, terima kasih.

Puan Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh

[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Kuala Langat.

Puan Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh

Yang Berhormat Lipis tidak tolong dia tulis betul-betul.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Seputeh, duduk Yang Berhormat Seputeh.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengambil ruang menyertai dalam perbahasan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Memetik dalam Titah Tuanku perenggan tiga. Saya mulakan dengan soal pelaburan yang dititahkan untuk melambangkan keadaan ekonomi sebuah negara. Jadi, saya ingin mendapat perhatian daripada kementerian yang terlibat. Apakah langkah-langkah pelaburan yang dimaksudkan oleh Tuanku itu dapat disegerakan ataupun diperformkan? Mengikut daripada apa yang kita ketahui, waktu ini pun dalam keadaan hampir 33 juta kaki persegi untuk penyewaan pejabat pun tidak termampu untuk dilaksanakan oleh pelabur-pelabur ataupun peniaga-peniaga ataupun saudagar-saudagar dalam negara ini. Mana mungkin kita dapat mengangkat atau meningkatkan pelaburan dalam negara ini. Dalam masa yang sama kalau kita lihat di Kemaman sebagai contoh, 6,000 pekerja-pekerja dalam oil and gas dan juga steel telah dibuang kerja. Ini menunjukkan bahawa peranan dan juga komitmen daripada kerajaan itu amat menjadi teka teki ataupun kategori boleh diletakkan sebagai gagal. Dalam perenggan ke lima, Tuanku juga menitahkan, menyatakan bahawa kos sara hidup menjadi kebimbangan Tuanku dan keadaan ini memberikan isyarat walaupun Majlis Tindakan Sara Hidup negara ditubuhkan. Persoalannya ialah ketika rakyat menderita dan sengsara, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara ini peranannya apa? Apakah pendekatan itu dapat dilaksanakan mengikut penyesuaian keadaan yang dilihat kemampuan itu tidak berada dalam posisi yang sebenar.

Maka Tuanku juga mengaitkan dalam soal subsidi. Subsidi menjadi perkara yang amat diperlukan oleh rakyat. Maka kos sara hidup tidak boleh direnggangkan ataupun tidak boleh dipisahkan dengan keadaan penghidupan pencukaian yang sebegitu kritikal dan juga dalam keadaan subsidi ditarik dalam mata wang Ringgit Malaysia sebegitu rapuh dan tidak meyakinkan. Maka dalam gerombolan ini, saya percaya dan saya yakin amat membimbangkan negara, rakyat hidup dalam sengsara. Ini jelas dalam komitmen saranan Tuanku itu memberi isyarat bahawa kita kena segerakan untuk memastikan kos sara hidup yang begitu kritikal terhadap rakyat hari ini menjadi bebanan yang tidak boleh dikompromikan. Maka Tuanku juga meletakkan sasaran beberapa perkara termasuklah dalam perenggan 11 yang mengenai perkhidmatan kesihatan. Apabila kesihatan itu melambangkan perkara yang pokok yang perlu dijaga oleh kerajaan tetapi gagal berbuat demikian. Malah saya di Banting sendiri, Tuan Yang di-Pertua, ubat pun tidak ada. Terpaksa tunggu. Dia terpaksa ambil daripada Taiping. Taiping ini, Yang Berhormat Bagan Serai dia akan celah lah ini. Saya tidak akan bagi pada Yang Berhormat Bagan Serai. Ini memberikan isyarat bahawa perkhidmatan kesihatan itu amat penting tetapi ubat sendiri pun tidak mampu diberikan.

Bila sebut nama, lain kali kena bagi peluang cakap. Bukan macam itu caranya.

Ini menunjukkan bahawa keadaan yang begitu meruncing dan saya yakin dalam apa yang saya dimaklumkan overtime anggota-anggota pekerja hospital pun tidak dibayar dalam tahun ini. Ini juga isyarat mengatakan bahawa tidak ada keselesaan dalam membentuk satu tugasan yang memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih terbaik. Dalam soal ini saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan. Apakah benar mereka tidak dibayar overtime atau elaun yang sepatutnya disebabkan oleh desakan dana yang tidak mencukupi. Ini amat-amat mendukacitakan. Dia juga memberikan kesan kepada perkhidmatan yang merujuk apa yang berlaku pada hari ini. Saya sendiri ketika hantar anak atau cucu di Hospital Banting. Hendak tunggu mendapat rawatan pun enam jam, Tuan Yang di-Pertua. Enam jam! Dahsyat! Apa punya perkhidmatan ini? Inilah menunjukkan bahawa keadaan negara sekarang ini berada dalam kebobrokan yang tidak boleh memberikan kedudukan yang selesa.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Bagan Serai bangun Yang Berhormat.

Petunjuk aras yang mengatakan bahawa keadaan sekarang ini amat-amat menyedihkan.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Bagan Serai bangun, hendak bagi?

Maka yang demikian saya ingin meneruskan perenggan 15. Tuanku juga bertitah dalam mengangkat martabat wanita 30 peratus. Saya ingin menyinggung perkara 30 peratus ini. Sebenarnya Tuan Yang di- Pertua, kita tengok daripada rendah, menengah dan universiti banyaknya wanita. Jadi 30 peratus sasaran itu sebenarnya tidak relevan. Malah kita kena buka lebih daripada itu kerana kita hendak mengangkat martabat wanita. Jadi persoalan 30 peratus ini perlu dikaji semula kerana ini memberikan kesan kepada mereka-mereka dalam kelompok atau kumpulan itu. Kita kena berikan juga peluang kepada wanita untuk diberikan mereka sebagai kumpulan yang membuat dasar yang lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini. Jadi sasaran 30 peratus ini saya hendak buka supaya ia tidak boleh kita letakkan 30. Kita kena buka malah bagi lebih untuk memastikan bahawa wanita sentiasa menjadi pendorong kepada memacu ekonomi negara. Ini isu cara terus untuk saya punya position sebagai orang yang memang berminat untuk berbicara soal polisi negara. Terutama sekali hal pekerja. Saya hendak menyinggung perkara pertama, kes Mahkamah Buruh. Saya petik daripada apa yang saya cakap, bicara semalam iaitu apabila Mahkamah Buruh meletakkan satu arahan dan hukum. Maka syarikat biadab tidak mahu menurut perintah. Apa tindakan kementerian? Kementerian kena tegas.

Saya beri contoh AAM tidak bayar berbulan-bulan gaji. Mahkamah bagi hukuman tetapi syarikat buat bodoh saja sebab tidak ada susulan tindakan daripada Kementerian Sumber Manusia. Saya mohon kementerian tegas dan mengambil tindakan terhadap syarikat yang biadab dan kurang ajar. Kedua, saya hendak menyentuh tentang RELA. Elaun dinaikkan. Alhamdulillah, itu adalah bersesuaian dengan peranan dan tugas mereka. Namun saya juga ingin menyinggung anggota-anggota penjara yang tugas mereka ini tidak letih-letih saya bercakap isu anggota penjara ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya minta Kementerian Dalam Negeri tolonglah, tolonglah perhatikan kebajikan anggota-anggota penjara ini. Mereka bertanggungjawab menjaga bermacam-macam manusia di dalam penjara itu, tetapi gaji dan elaun mereka itu dilihat tidak setimpal dengan tugas dan peranan mereka. Harus diberikan ajakkan sekurang-kurangnya menilai dan menghargai anggota penjara yang bekerja demi untuk negara, mempertahankan kedaulatan negara dan menjaga keamanan dan disiplin mereka yang tidak disiplin. Maka saya ingin menyarankan kepada Kementerian Dalam Negeri, terutama sekali Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dari Bagan Datuk supaya tolonglah buatkan reevaluation balik kepada anggota-anggota penjara supaya mereka tidak hidup terpinggir atau dipinggirkan. Ketiga, saya ingin menyinggung tentang JTK. Jabatan Tenaga Kerja ini Tuan Yang di-Pertua, dia ada 12 akta di bawah mereka. Menteri telah pun menyarankan dan memberi komitmen dalam Dewan ini, dia kata penambahan 400 lebih. Tidak silap saya 417 orang untuk direkrut untuk jadi pekerja ataupun menjadi pegawai-pegawai baru. Mengapa saya kata begitu? Ini kerana anggota JTK ini dalam keadaan kedudukan di peringkat dasar contohnya, seorang pengurus dan dua orang kakitangan hendak jaga dasar, dalam satu negara berapa banyak dasar terutama sekali dasar perburuhan. Jadi saya melihat bahawa kementerian harus peka, harus serius. Bila masuk dalam Dewan dia kata okey, kita akan bawa dalam Kabinet. Betullah itu, tetapi akhirnya di mana mereka yang lain yang hendak kita bawa sebagai implementasi daripada apa yang telah di- commit-kan. Hari ini saya tidak dengar cerita. Saya diberitahu apabila Kementerian Sumber Manusia dia submit, JPA pula tolak. Dia kata study balik. Study tang mana study? Kalau 12 akta hanya menjaga 900 golongan pekerja, dalam 15 juta mereka terlonggok dalam 12 akta ini, JTK tidak mampu. Dialah hendak menjadi hakim, dialah hendak menjadi pendakwa, dialah hendak menjadi pegawai penyiasat, dialah hendak pergi tengok kilang-kilang, dialah hendak tengok, oh banyak sangat tengok Tuan Yang di-Pertua. Kesian mereka. Daripada badan sebagak-bagak, jadi kurus kering macam saya. Jadi tidak boleh kita biarkan begitu sehingga mereka mati bercakap seorang.

[Menyampuk]

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Mic on tak Yang Berhormat?

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Mic on tak?

On. On [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Ya, bagus Yang Berhormat.

Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua telah mengambil masa saya satu minit, saya akan tarik lebih satu minit [Ketawa] Jadi saya meminta supaya kementerian bersungguh-sungguh...

Tuan Yang di-Pertua.

...Melawat kementerian supaya pegawai-pegawai baru JTK ini mereka duduk dalam kumpulan yang selesa sedikit walaupun dalam keadaan terdesak.

Jadi saya menyarankan kepada Kementerian Sumber Manusia supaya tegas, 400 orang lebih ini perlu disegerakan. Dalam keadaan akta yang terlalu banyak, SIP-nya, dengan minimum wage, dengan pekerja asingnya. Berlambak kerja mereka buat. Mereka jangan dianaktirikan dalam kementerian. Kementerian lain-lain senang-lenang gaji mahal. Mereka ini kerja teruk bagai nak mampus tetapi dalam keadaan yang terdesak, tidak ada manpower yang cukup. Di kala kita hendak menuju ke arah negara maju, kita perlu ada sistem dan mekanisme yang efisien dan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan begitu baik. Kelima, saya ingin menyentuh tentang Megasteel dan Perwaja. Saya pergi kepada Perwaja dulu, Tuan Yang di-Pertua. Perwaja ini yang saya geram ini pasal apa, dia tidak bayar gaji, kemudian dia potong EPF, dia potong SOCSO, insurans, potongan Tabung Haji. Macam-macam dia potong, tetapi dia tidak masukkan ke dalam tabungan yang sepatutnya. Dia potong, dia ambil. Dia potong, dia ambil duit itu. Jadi saya ingin menyarankan kepada kerajaan terutama sekali Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia berperananlah supaya mereka yang mengkhianati tanggungjawab yang telah diberikan itu dihukum mengikut lunas undang-undang dan tidak boleh dikompromikan. Dalam keadaan, suasana hari ini, pekerja diletakkan dalam kategori ketiga. Kategori ketiga bermaksud sudah habis hutang piutang semua, yang ketiga baru diberi kepada pekerja. Perwaja ini Tuan Yang di-Pertua, dia berhutang dengan pekerja hampir RM50 million, RM50 juta dan dia kena bertanggungjawab. Tenaga pekerja diperah, kemudian tidak dibayar gaji. Pampasan tidak bayar, potongan pun tidak dibuat walaupun dipotong duit pekerja. Ini apa punya tidak tahu hendak cakaplah. Kalau cakap lebih nanti Tuan Yang di- Pertua marah, tetapi itulah punya celaka punya majikan. Akan tetapi apa pun, apa pun tidak tahulah saya hendak cakap pasal itu tetapi inilah peranan dan tanggungjawab kerajaan supaya tegas. Perwaja harus bertanggungjawab dan bayar balik. Sebelum hendak tutup kilang Tuan Yang di-Pertua, dia kaut habis barang-barang kilang semua, tinggal bangunan sahaja. Tak guna punya majikan. Megasteel pun begitu. Di sana buka business, di sini buka business tetapi pampasan tidak dibayar. Jadi saya minta Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Kewangan memastikan bahawa mereka yang khianat ini, yang celaka ini tidak boleh dibenarkan berniaga kerana mereka sudah pun mengkhianati dan menzalimi pekerja- pekerja bawahan. Enam minit lagi. Cantik. SIP, Tuan Yang di-Pertua. SIP. Saya ingin mengucapkan syabas tetapi dalam keadaan penambahbaikan, saya hendak cadangkan supaya berkanun. GLC itu diberikan juga keistimewaan ataupun facilities dan privilege itu, dengan izin. Ini kerana mereka juga pekerja yang tidak dikatakan penjawat awam, tidak juga dikatakan swasta. Di tengah-tengah. Jadi mereka juga, ada kumpulan-kumpulan ini juga dibuang kerja seperti MAS. Enam ribu pekerja telah dibuang. Dia GLC. Jadi berkanun ini juga saya minta supaya dimasukkan dalam kategori yang layak supaya Skim Insurans Pekerja ini dapat dimanfaatkan. Saya bersyukur kerana antara kutipan RM9 juta itu dilakukan pada tiap-tiap- setakat bulanan yang kita dapat, dalam masa yang sama perbelanjaan dalam RM3 juta. Jadi masih ada lagi longgokan wang itu. Kalau boleh, ditambahbaikkan daripada pembentukan yang mereka layak untuk meraih ataupun mendapat hak ataupun kedudukan yang sepatutnya. Saya juga tanpa segan silu ingin menyarankan kepada kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, faedah-faedah persaraan. Saya diberitahu sekarang ini penjawat awam tidak lagi diberikan pencen. Saya juga mendapat tahu bahawa mereka ini dipotong terus kepada EPF. Tuan Yang di-Pertua, penjawat awam ini sudah dimaktubkan hak mereka. Faedah-faedah inilah yang ada pada kebolehan mereka bekerja dalam sektor pejabat awam. Saya nampak tidak boleh dibiarkan begitu kerana dalam EPF, dia tidak ada duit berterusan. Dia hanya selonggok. Jadi saya minta supaya kerajaan mengkaji semula tentang persaraan penjawat awam ini tidak diserahkan kepada EPF, tetapi diberikan dalam bentuk faedah persaraan. Jadi ini memberikan satu syarat bahawa keadaan tabungan KWAP ataupun dana awam ini sebenarnya ada sesuatu yang tidak kena.

Atas sebab itu saya tidak bersetuju kalau duit persaraan ini diambil dan dibuat sesuka hati tanpa memikirkan tentang tabungan masa depan penjawat-penjawat awam. Saya berasa sedih kerana duit yang sepatutnya dijaga dengan mulia dan murni, tetapi telah diambil dengan ganas dan zalim. Akhirnya, penjawat awam yang baru-baru tidak mendapat faedah- faedah yang dapat daripada kumpulan sebelum ini. Saya ingin menyarankan kepada kerajaan supaya mengkaji semula tentang Skim Persaraan ini yang ditarik untuk pekerja- pekerja terutama sekali bagi mereka yang menjawat jawatan dalam proses mereka bersara esok. Terakhir, saya ingin menyinggung tentang tempoh kontrak yang baru-baru ini telah diluluskan, 15 tahun mereka yang layak untuk mendapat jawatan tetap dalam penjawat awam. Saya ingin menyentuh tentang beberapa isu yang memberikan renungan kita sementara ini. Banyak kementerian yang saya lihat pada hari ini hendak sampai ke 15 tahun, dia tamat kontrak ini.

Apa punya celaka. Hendak dapat, hendak masuk sampai hidung Tuan Yang di- Pertua, dia potong kontrak itu. Kasihan kawan itu kerja 14 tahun, 13 tahun, umur sudah 48 tahun, 52 tahun, mana hendak cari kerja lagi Tuan Yang di-Pertua. Kalau terlibat itu orang luar, kita rasa tidak begitu menyentuh tetapi sahabat kita, saudara kita, kenalan kita terlibat secara langsung. Ini juga memberikan satu signal, kontrak ini tidak membolehkan kita menzalimi mereka. Akan tetapi oleh kerana 15 tahun itu menjadi suluhan dan prasyarat wajib, maka terpaksa dilalui 15 tahun. Saya ingin menyarankan kepada, saya ingin hendak...

Dato' Seri Dr. Shahidan bin KassimPAS · PNMenteri di Jabatan Perdana Menteri · Arau

[Bangun]

Gabenor kalau minta saya tidak bagi pun tidak boleh Tuan Yang di-Pertua. Okey, seminit Yang Berhormat ‘Gabenor’.

Tidak, setengah minit. ‘Celaka’ ini dimaksudkan kepada pegawai kerajaan ataupun Ketua Jabatan?

Terima kasih Yang Berhormat Arau. Ayat yang sesuai ialah mereka yang ada sifat dengki, khianat kepada mereka yang bekerja menghampiri 15 tahun untuk layak. Oleh sebab apa saya kata begitu? Ini sebab KPI itu dikendalikan oleh pegawai-pegawai tertentu, yang tidak suka kepada pekerja ini, dia terus tamatkan kontrak. Ini kerana apa? Ini kerana sakit hati melihat orang itu akan dipermanentkan. Berita saya dapat dan saya boleh buktikan. Ini yang saya katakan celaka. Dia tahu kawan itu sudah kerja 14 tahun, tiba-tiba sampai ke hujung-hujung itu, pop, dia habiskan kontrak. Yang Berhormat Arau, itulah di sebalik penderitaan dan tangisan mereka yang hendak mencapai 15 tahun. Maka saya ingin cadangkan kepada kerajaan terutama sekali kepada Yang Berhormat Arau yang menjadi saksi petang ini, tolonglah, tolonglah perbaiki kontrak ataupun agreement itu supaya mereka tidak dizalimi. Begitu juga dengan tempoh itu, kalau boleh dikurangkan daripada 15 tahun kepada 10 tahun supaya mereka juga meraih faedah dan facilities yang ada dalam konteks pejabat-pejabat awam. Kita kena renung bahawa keluarga satu orang kita aniaya, satu keluarga yang sengsara. Satu orang yang kita sifatkan sebagai tidak dipedulikan, satu keluarga kita zalimi. Apa yang baik sesungguhnya dari Allah, yang tidak baik dan buruk daripada mereka yang tidak menyokong apa yang saya bicarakan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang budiman.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat, tidak ucap selamat tinggal, tidak ucap? Terima kasih.

Keperluan saya tidak perlu mengucapkan selamat tinggal Tuan Yang di-Pertua kerana lepas ini saya hendak duduk di sebelah sana pula [Ketawa]

Sudahlah, jangan beranganlah.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Ranau.

Yang Berhormat Bagan Serai jangan cabar, jangan cabar.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Ranau.

Datuk Dr. Ewon EbinUPKO · BNRanau

Okey terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana diberi peluang untuk berbahas Titah Diraja yang disampaikan pada hari Isnin yang lalu. Tuan Yang di-Pertua, rakyat Malaysia di negara ini cukup bertuah kerana kita tinggal di satu negara yang walaupun rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum, latar belakang agama dan keturunan, tetapi hidup dalam keadaan aman, damai, harmoni dan bersatu padu. Selain daripada peristiwa tahun 1969, tidak ada kejadian-kejadian atau kacau bilau yang berlaku di negara ini. Ketenteraman yang kita nikmati ini berlaku kerana kita mempunyai satu kerajaan yang stabil dan pemimpin yang berpengalaman. Di mana pentadbiran negara ini dijalankan dengan cara adil, saksama tanpa mengira ataupun mengetepikan mana-mana pihak. Malaysia adalah contoh negara yang mempunyai masyarakat dan penduduk majmuk yang dapat mempertahankan keamanan dan kedaulatan yang sukar didapati di negara-negara lain. Tuan Yang di-Pertua, kita cukup bangga dengan negara Malaysia. Malangnya Tuan Yang di-Pertua, ada juga segelintir yang tidak suka melihat keamanan ini dan cuba untuk menghuru-harakan negara kita dengan bermacam-macam cara termasuklah memburuk- burukkan negara dan juga pemimpin, bukan sahaja di dalam negara ini tetapi juga di luar negara. Malahan, ada juga pihak-pihak yang bersubahat dengan pihak-pihak luar untuk menjatuhkan imej dan juga kewibawaan negara kita. Tuan Yang di-Pertua, kita sedia maklum bahawa negara kita ini adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan bebas bersuara dan juga mengeluarkan pendapat. Namun, ini bukan bererti kebebasan ini merupakan sebagai pasport untuk memfitnah dan memburuk-burukkan pemimpin dan juga negara kita ini ataupun membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Adalah tidak adil bila ini berlaku kerana bukan sahaja imej pemimpin yang terjejas tetapi juga negara yang menyebabkan orang luar memandang serong terhadap negara kita. Tuan Yang di-Pertua, untuk membendung perkara ini daripada berlaku dan demi untuk keutuhan negara kita, maka saya bersetuju sangat agar satu rang undang-undang dapat diwujudkan untuk membendung berita palsu, termasuklah fitnah dan tohmahan daripada pihak-pihak tertentu. Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat, Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah melaksanakan banyak perkara yang memberikan keselesaan semua rakyat di negara ini. Di samping memberikan banyak subsidi seperti BR1M, Bantuan Musim Tengkujuh dan macam- macam lagi BR1M ataupun subsidi yang telah diberi, kerajaan juga telah melaksanakan banyak projek yang telah memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhan. Negeri Sabah adalah merupakan sebagai negeri yang telah mendapat banyak peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Peruntukan RM13 bilion untuk membina rangkaian Pan Borneo telah memberikan kemudahan jalan raya yang tidak pernah dinikmati oleh rakyat negeri Sabah sebelum ini. Apabila ini siap kelak, ia memudahkan penduduk dan juga pengguna jalan raya untuk berjalan tanpa mengalami kesesakan lalu lintas seperti mana yang kita hadapi sekarang.

Datuk Dr. Ewon EbinUPKO · BNRanau

Tuan Yang di-Pertua, sejak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri, kita sudah menerima peruntukan permohonan yang tidak kurang RM1 bilion di kawasan saya. Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan sekarang ialah: (i) pembinaan jalan raya Telipok–Randagong–Ranau yang memakan belanja kos lebih kurang RM350 juta. Ini adalah penting oleh sebab, pada masa kini kita hanya menggunakan satu rangkaian jalan raya. Jadi apabila kebiasaannya musim perayaan seperti Krismas, Hari Raya, Tahun Baru Cina, maka terdapat kesesakan yang amat sangat bagi pengguna-pengguna jalan raya. Jadi apabila jalan raya Pan Borneo sudah siap, maka ia memudahkan perjalanan pengguna-pengguna jalan raya yang daripada Kota Kinabalu ke Sandakan dan juga Tawau; (ii) pembinaan jalan perhubungan desa di kawasan saya iaitu daripada Kampung Bengkut, Estet Sejahtera Salong sejauh 45 kilometer yang menelan belanja lebih kurang RM250 juta dan ini sedang berjalan lancar pada masa kini; (iii) pembinaan dan penaikan taraf jalan raya, bekalan elektrik dan air luar bandar yang mana ada yang sudah dilaksanakan dan ada yang sedang dilaksanakan dan jumlah peruntukan keseluruhan ini ialah RM300 juta; (iv) pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebanyak RM100 juta; dan, (v) pembinaan jambatan dan jalan raya ‘Walo Tiranom’ yang baru juga diluluskan iaitu sebanyak RM54 juta. Tuan Yang di-Pertua, memang saya akui bahawa walaupun kita telah menerima banyak peruntukan daripada kerajaan tetapi sudah tentulah ini tidak mencukupi untuk menyiapkan semua projek yang telah direncanakan itu. Oleh kerana kawasan saya Ranau ini adalah merupakan sebagai satu kawasan yang terbesar di negeri Sabah yang mempunyai saiz lebih kurang 3,500 square kilometer. Namun demikian Tuan Yang di-Pertua, saya percaya bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan terus memberikan peruntukan untuk memajukan kawasan ini.

Datuk Dr. Ewon EbinUPKO · BNRanau

Tuan Yang di-Pertua, di suatu ketika dahulu salah satu topik yang hangat diperkatakan di negeri Sabah ialah hak-hak negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Kalau kita dengar di suatu ketika dahulu sama ada di kedai kopi kah, di mana-mana tempat banyak yang bersuara, banyak yang merungut, banyak yang meminta supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak-hak yang terambil mengikut Malaysia Agreement 1963. Inilah sepertinya topik yang paling hangat yang dibicarakan di kalangan masyarakat ataupun penduduk negeri Sabah. Dalam lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini di negeri Sabah, beliau telah mengumumkan bahawa mana-mana hak negeri Sabah yang terambil sama ada secara sengaja atau tidak sengaja akan dikembalikan. Ini merupakan sebagai satu hadiah besar kepada rakyat negeri Sabah dan memberi keyakinan dan kegembiraan yang tidak terperi daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dulu ini tidak berlaku oleh sebab pemimpin dulu ataupun Perdana Menteri dulu itu apabila kita menyuarakan perkara seperti ini jangan bilang dia layan, masuk ke ISA ada. Jadi inilah sepertinya perbezaan di antara kepimpinan sekarang dan yang lalu, Tuan Yang di- Pertua. Jadi untuk ini saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia untuk pengumuman yang telah diberikan. Ini adalah merupakan seperti saya sebutkan tadi sebagai satu hadiah bagi rakyat negeri Sabah. Tuan Yang di-Pertua saya mempunyai keyakinan penuh bahawa negara kita ini akan terus maju ke hadapan di bawah Kerajaan Barisan Nasional. Laporan yang kita terima ataupun kita baca daripada pelbagai sumber mengenai dengan ekonomi negara ini cukup memberangsangkan. Mudah-mudahan dengan rahsia Tuhan Malaysia akan terus maju sejahtera dan sentiasa aman sepanjang masa. Dengan kata-kata ini Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat Kulai.

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk bahas. Isu pertama yang saya hendak bangkit pada hari ini adalah tentang kanak-kanak tanpa kerakyatan. Isu ini saya sudah beberapa kali bentang dalam Parlimen ini dan akhirnya pada tahun yang lalu semasa perbahasan saya terima satu berita yang bagus daripada Timbalan Perdana Menteri. Saya petik daripada Hansard yang bertarikh

“Izinkan saya untuk mengalu-alukan cadangan Yang Berhormat iaitu ujian DNA untuk dijadikan salah satu syarat. Yang Berhormat perkara ini telah dilaksanakan di mana laporan ujian DNA ini yang disahkan oleh mahkamah diterima sebagai prasyarat untuk kelulusan kerakyatan”. Pada hari yang sama saya bangkit di Dewan ini, satu cerita tentang sekeluarga Encik Erk Kui Ting dari Kulai. Beliau dengan isterinya mempunyai tiga orang anak yang ketiga-tiganya adalah kanak-kanak tanpa kerakyatan. Walaupun ujian DNA telah pun dibuat pada bulan Mei 2016 tetapi permohonan mereka untuk kerakyatan masih lagi ditolak pada Mei 2017. Nasib baik selepas saya bangkit isu ini, on the spot saya terima kelulusan khas daripada Yang Amat Berhormat Bagan Datuk pada 9 November 2017. Akan tetapi walaupun kelulusan khas ini telah dipanjangkan kepada Bahagian Pendaftaran Negara dan Perpaduan oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, permohonan untuk kerakyatan mereka sampailah hari ini masih tidak diuruskan dan masih tidak diluluskan lagi. Jadi saya hendak tanya memandangkan bahawa kita mempunyai lebih kurang 300,000 orang kanak-kanak tanpa kerakyatan, sampai bilalah kita boleh selesaikan semua isu kanak-kanak tanpa kerakyatan ini? Isu menjadi semakin rumit untuk golongan ini kerana Jabatan Imigresen pada 28 Disember tahun yang lalu mengemukakan satu arahan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa kanak-kanak tanpa kerakyatan ini perlu membuat pasport mereka untuk kemasukan ke sekolah. Pemilikan pasport sebelum ini memang bukanlah satu prasyarat untuk kemasukan ke sekolah. Jadi soalan yang saya hendak tanya ialah kenapa Kementerian Pendidikan Malaysia membenarkan Jabatan Imigresen untuk menentukan syarat-syarat untuk kemasukan ke sekolah bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan ini? Bukankah kuasa untuk menentukan syarat kemasukan ke sekolah kerajaan diletakkan di dalam tangan Kementerian Pendidikan Malaysia? Kementerian Pendidikan Malaysia sudah mempunyai garis panduan sendiri untuk kemasukan ke sekolah di bawah peraturan tadbir urus pendaftaran sekolah yang dikuatkuasakan sejak tahun 1998. Di bawah peraturan tersebut jika ibu bapa mereka adalah penduduk tetap Malaysia, kanak-kanak tersebut sudah boleh menuntut pelajaran di sekolah kerajaan. Kita terdapat hampir 300,000 kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia. Mereka tiada kerakyatan atas pelbagai sebab. Ada yang disebabkan ditinggalkan ketika lahir, kegagalan untuk mengesan ibu kandung mereka, kecuaian dan kegagalan ibu bapa dan salah seorang ibu atau bapa adalah warga asing dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka. Kita selalu nyatakan di dalam Dewan ini janganlah kita hukum kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Ibu bapa mereka yang buat kesilapan kenapa kita hendak denda, kita hendak hukum golongan yang tidak buat dan tidak berdosa ini? Kebanyakan mereka adalah anak warga Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia sepatutnya tidak membenarkan pemilikan pasport sebagai salah satu syarat untuk kemasukan ke sekolah. Ini kerana saya rasa ramai kanak-kanak tiada kerakyatan dinafikan hak asasi mereka. Walaupun isu ini telah dibetulkan apabila Kementerian Pendidikan mengeluarkan satu pekeliling yang menyatakan bahawa pasport tidak diperlukan lagi, tetapi hanya perlu tunjuk permohonan mereka untuk kerakyatan.

Akan tetapi yang saya tidak faham ialah kes di Johor memang selesai. Kes yang saya tangani itu semua mereka dapat pas pelajar untuk tiga tahun tetapi kes di Perak ada murid-murid yang hanya terima pas pelajar yang sah untuk dua tahun dengan satu syarat bahawa selepas dua tahun mereka perlu tunjuk pasport lagi. Jadi nampaknya di sini walaupun satu pekeliling telah dikeluarkan oleh KPM tetapi tidak ada konsistensi di tahap pelaksanaan. Di Johor satu situasi, di negeri Perak satu situasi lagi. Jadi sampai bilalah kita boleh atasi isu ini? Selepas itu saya juga hendak sentuh isu wanita. Yang Amat Berhormat Pekan telah mengumumkan bahawa tahun 2018 adalah tahun untuk memperkasakan wanita. Saya sebagai Ahli Parlimen wanita, saya sokong tema tersebut. Akan tetapi saya hendak tanya di sini apa itu agenda Yang Amat Berhormat Pekan untuk memperkasakan wanita pada tahun ini? Sampai hari ini kita tidak tahu apa itu langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk memang memperkasakan wanita. Ya, semasa ucapan beliau dalam membentang bajet, beliau telah membuat satu pengumuman bahawa mengenai cuti bersalin akan dipanjangkan ke 90 hari. Akan tetapi sekarang di sektor swasta sama ada ayat tersebut adalah satu cadangan di mana majikan di sektor swasta boleh buat keputusan sendiri sama ada hendak kekal dengan 60 hari atau- ini sudah menjadi satu kewajipan majikan untuk memberi cuti bersalin selama 90 hari. Sampai hari ini kita tidak ada kepastian lagi. Di samping itu, kita Pakatan Harapan, dalam Buku Harapan kita... [Menunjukkan senaskhah buku] Ada beberapa cadangan yang saya rasa cukup bagus. Dalam Buku Harapan ini kita nyatakan; Pakatan Harapan kita menjamin akan melalui sistem perundangan supaya wanita mempunyai hak yang sama untuk mendapat jumlah gaji bagi pekerjaan yang setara serta peluang kenaikan kerja yang terus. Selain daripada itu, Pakatan Harapan kami juga memperkenalkan skim KWSP untuk suri rumah. Caruman akan disumbangkan daripada caruman KWSP para suami yang bekerja pada kadar dua peratus sebulan yang tidak membebankan. Ketiga, sebagai tanda penghargaan kepada suri rumah Pakatan Harapan kami juga janji akan memberi sumbangan caruman KWSP sebanyak RM50 sebulan kepada para suri rumah. Keempat, kita juga janji kalau kami menjadi kerajaan, kami akan memperkenalkan Rang Undang-undang Gangguan Seksual untuk menghentikan gangguan seksual di semua peringkat. Saya rasa ini semua cadangan yang bagus.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Yang Berhormat...

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

Jadi sekarang saya...

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

...Sambung esok untuk cadangan-cadangan yang bagus Yang Berhormat.

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

Boleh, saya habiskan satu ayat lagi. Jadi pada hari ini saya hendak menggalaklah Barisan Nasional, jadilah satu copycat. Copy-lah semua cadangan bagus ini daripada Pakatan Harapan...

[Dewan riuh]

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

Biarlah kita- memang lah dalam tahun ini memperkasakan wanita.

Kempen pilihan raya kah ini?

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Ya, ya.

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

Kalau memperkasakan wanita...

Kempen pilihan raya kah ini?

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Sambung esok, Yang Berhormat.

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

...Adalah satu agenda yang penting untuk Barisan Nasional. Jadi saya sambung esok, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

Ahli-ahli Yang Berhormat Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Khamis 15 Mac 2018.

[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.31 petang]

Kamar KhasSpecial Chamber

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) mempengerusikan Mesyuarat]

Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Kerosakan Infrastruktur Pusat Penjaja dan Masalah Saliran Air Sekitar Taman Sri SentosaSpecial Chamber

Puan Nurul Izzah Binti AnwarPKR · PHLembah Pantai

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Kejadian banjir kilat sering berlaku di Kuala Lumpur dan memberi kesan kepada warga kota.

Pihak DBKL dan kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk perancangan pembaikan saliran air dan banjir kilat. Namun, kesannya tidak dirasai oleh warga kota. Malah, hujan lebat pada 30 Oktober 2017 di Kuala Lumpur menyebabkan banjir kilat, yang menyebabkan kerugian besar terhadap penjaja sekitar Lembah Pantai.

Penjaja di Pusat Penjaja Taman Sri Sentosa mendakwa hujan lebat yang berlaku telah menyebabkan air masuk ke dalam premis mereka dan saliran longkang yang tersumbat juga mengakibatkan air naik di ruang penyediaan makanan premis. Mereka telah melaporkan tentang kerosakan dan saliran air yang tersumbat kepada DBKL, namun tiada sebarang tindakan yang diambil pada awalnya. Saya juga telah menghantar surat pada pihak DBKL pada 6 November 2017 menuntut agar kerosakan ini segera diperbaiki oleh DBKL.

Hasil lawatan kami pada 17 November 2017 mengesahkan bahawa tiada sebarang kerja- kerja penambahbaikan dijalankan. Kami dimaklumkan Jabatan Penjaja dan Pelesenan DBKL bahawa kerja-kerja tersebut hanya akan bermula pada 23 Disember 2017, sebulan ya selepasnya, tetapi pihak DBKL tidak mengikuti perancangan tersebut dan kerja-kerja membaiki bumbung hanya bermula pada 26 Januari 2017. Walaupun bumbung premis sedang dibaiki,

Puan Nurul Izzah Binti AnwarPKR · PHLembah Pantai

namun pihak penjaja masih mendakwa kaedah yang digunakan oleh pekerja DBKL tidak mengikuti spesifikasi keperluan penjaja. Penjaja juga turut kesal dengan kegagalan DBKL membersihkan saliran longkang di Pusat Penjaja Taman Sri Sentosa secara berkala.

Justeru, saya pohon Menteri yang bertanggungjawab menyatakan status penambahbaikan bumbung bocor di Pusat Penjaja Taman Sri Sentosa dan memastikan kontraktor lantikan menyiapkan kerja pembaikpulihan secepat mungkin. Nyatakan juga sebab kelewatan kerja pembaikan bumbung dan berapakah kos pembaikpulihan bumbung tersebut.

Pihak penjaja juga mendakwa bahawa wujud kerosakan beberapa infrastruktur seperti tandas awam dan kerosakan meja dan kerusi buat kegunaan pengunjung. Tandas awam yang tidak diselia dengan baik menjadi sarang penagih dadah yang menggunakan tandas awam penjaja untuk kegiatan haram dan berunsur jenayah. Kerosakan kerusi dan meja juga menimbulkan ketidakselesaan pelanggan yang berkunjung.

Saya mohon agar pihak DBKL juga menyatakan sejauh manakah kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur dan tandas awam di Pusat Penjaja Taman Sri Sentosa telah dilaksanakan dan adakah pihak DBKL merancang untuk menambah baik prasarana tersebut dan pihak kementerian DBKL juga perlu memberi komitmen yang tinggi dalam mempercepatkan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan di Pasar Penjaja Taman Sri Sentosa, sesuai dengan peruntukan belanja mengurus RM19.1 juta dalam belanjawan DBKL 2018 bagi menggalakkan pembangunan perniagaan dan penjaja di Kuala Lumpur. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Dato’ Dr. Loga Bala Mohan a/l JaganathanTimbalan Menteri Wilayah Persekutuan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Lembah Pantai, Kementerian Wilayah Persekutuan melalui agensinya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa mengambil berat masalah rakyat termasuk masalah banjir. Oleh itu, sejumlah peruntukan yang besar disediakan untuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir di Kuala Lumpur.

Bagi Parlimen Lembah Pantai khususnya di kawasan Taman Seri Sentosa, kontraktor telah dilantik pada bulan Oktober 2017 untuk melaksanakan kerja-kerja Cadangan Mempertingkatkan Sistem Perparitan Induk dan Pengurusan Air Hujan di Taman Sentosa yang bermula pada 3 Oktober 2017 dan dijangka siap pada 9 Julai 2018.

Dato’ Dr. Loga Bala Mohan a/l JaganathanTimbalan Menteri Wilayah Persekutuan

Nilai kontrak kerja ini adalah RM10.8 juta. Pada masa ini, proses mendapatkan permit kerja dari TNB sedang diusahakan kerana tapak projek adalah di bawah talian rintis voltan tinggi TNB. Apabila projek ini siap, dijangkakan masalah banjir di kawasan ini dapat diatasi.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, mengenai Pembangunan Pasar dan Pusat Penjaja Taman Sri Sentosa DBKL telah memulakan kerja-kerja penyelenggaraan pada 20 Disember 2017. Skop kerja bagi penyelenggaraan merangkumi kerja membaiki bangku, tempat duduk, pelanggan rosak dan tercabut, membaiki bumbung bocor dan berkarat, mengecat dinding bahagian luar dan dalam, baik pulih jubin rosak, membaiki peralatan tandas rosak dan turapan jalan. Kos keseluruhan penyelenggaraan adalah sebanyak RM144,000. Kerja-kerja ini dijangka siap sepenuhnya pada 15 Mac 2018.

DBKL juga telah melaksanakan kerja-kerja baik pulih bumbung oleh pihak kontraktor yang dilantik pada 1 Februari 2018 dan siap sepenuhnya pada 15 Februari 2018. Kos baik pulih bumbung adalah RM24,000. Kerja-kerja penyelenggaraan ke atas pusat-pusat penjaja ini dibuat secara berterusan sepanjang tahun. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 17, berikut adalah ucapan saya kepada Jabatan Perdana Menteri. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi satu ucapan pada 25 Ogos 2017 di pejabat Akademi MyWin di Taman Tun Dr Ismail berkenaan dengan keperluan untuk menghasilkan lebih ramai usahawan wanita.

Dalam Bajet 2018, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk program usahawan ini di bawah Akademi MyWIN. Akademi ini ditubuhkan pada tahun 2014 tetapi sampai sekarang, laman web pun belum boleh dipakai di www.mywinacademy.org dan laman Facebook MyWIN dan juga akaun Twitter MyWIN juga tidak dikemaskinikan, tidak diupdatekan. Tidak ada sebarang maklumat tentang bagaimana seseorang boleh memohon untuk menyertai program PEAK yang dianjurkan oleh Akademi MyWIN. Memandangkan bahawa akademi ini mendapatkan peruntukan sebanyak RM20 juta setahun, mengapakah perkara yang begitu asas seperti laman web ataupun pemberian maklumat program pun tidak boleh dihasilkan.

Pada masa yang sama, ada laporan yang mengatakan bahawa Ketua Eksekutif (CEO) Akademi MyWIN ini mendapat gaji sebanyak RM40,000 sebulan. Jadi saya hendak minta pihak Menteri memberi penjelasan yang terperinci tentang prestasi Akademi MyWIN sejak ia

ditubuhkan pada tahun 2014 dan bagaimana peruntukan tahunan sebanyak RM20 juta ini digunakan. Sekian, Terima kasih.

Dato’ Sri Hajah Nancy binti ShukriPBB · GPSMenteri di Jabatan Perdana Menteri · Batang Sadong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Serdang ikhlas bertanya. Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Akademi MyWIN telah memulakan operasinya pada pertengahan tahun 2014, dengan matlamat untuk memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan dan kepimpinan dengan menyatukan semua aspek dari segi kekuatan, kebijaksanaan dan bakat wanita untuk memangkinkan lebih banyak inovasi di kalangan usahawan wanita dan pemimpin dari pelbagai industri. Pada tahun 2015 hingga 2017, MyWIN memberi penekanan kepada pembelajaran pengetahuan dan kemahiran dalam membawa penyelesaian yang inklusif dan inovatif.

Untuk makluman Yang Berhormat, MyWIN telah melancarkan laman web semenjak tahun 2015 lagi. Walau bagaimanapun, pada awal Februari 2018, MyWIN telah mengambil inisiatif membina semula laman web tersebut dan akan diaktifkan semula dalam masa terdekat.

Berhubung dengan Laman Facebook dan akaun Twitter, MyWIN telah mengemas kini akaun- akaun tersebut dengan membuat beberapa posting semenjak awal bulan Mac 2018.

Untuk menyertai program PEAK, seseorang boleh menghubungi MyWIN di talian 03- 77350946 atau menulis melalui e-mel kepada [email protected]. MyWIN tidak menerima peruntukan sebanyak RM20 juta pada setiap tahun. Kerajaan hanya memperuntukkan RM20 juta kepada MyWIN untuk tahun 2018 sahaja. Tadi Yang Berhormat pun sebut bajet pada 2018, ya. Untuk makluman Yang Berhormat, laporan yang mengatakan gaji Ketua Pegawai Eksekutif MyWIN sebanyak RM40,000 sebulan adalah tidak tepat.

Sejak penubuhan, MyWIN tidak pernah menerima peruntukan sebanyak RM20 juta setahun. Walau bagaimanapun, MyWIN telah melaksanakan program-program yang telah dirancang berdasarkan peruntukan yang telah diterima. Antara program-program yang telah dilaksanakan adalah seperti PEAK, Inovasi LAB MyWIN dan TN50 Wanita Pemacu Negara.

Sekian, Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang, hari Khamis, 15 Mac 2018. Terima kasih.

[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 2.45 petang