Dewan Rakyat · 5 April 2018
15th Parliament, session 6, meeting 1 · 259 turns · 19,338 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]
Jawapan-Jawapan Menteri Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Dato’ Haji Mohd. Zaim bin Abu Hasan [Parit] minta Menteri Pendidikan menyatakan, apakah usaha dilaksanakan bagi memperkasakan sistem pendidikan di negara ini, dalam usaha menyediakan modal insan berkemahiran tinggi, berfikiran kreatif dan inovatif untuk memenuhi keperluan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50). Serta sejauh manakah Pelan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 menjadi pemangkin kepada pencapaian agenda TN50.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Parit yang telah mengemukakan soalan kepada Kementerian Pendidikan berkait dengan modal insan berkemahiran tinggi dan TN50. Kementerian Pendidikan Malaysia komited melaksanakan transformasi pendidikan yang bermatlamat melengkapkan setiap murid dengan kemahiran baru untuk merebut peluang dan menangani cabaran abad yang ke-21. KPM turut bertanggungjawab untuk menjayakan aspirasi Malaysia melalui Transformasi Nasional 2050 yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 19 Januari 2017. Antara langkah-langkah utama Kementerian Pendidikan dalam transformasi ini: (i) perubahan kurikulum di semua peringkat. Perubahan kurikulum dalam prasekolah yang dikenali sebagai kurikulum standard pra sekolah kebangsaan, (ii) perubahan di peringkat sekolah rendah. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR); dan (iii) sekolah menengah. KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) di mana ada perubahan di semua peringkat kurikulum ini untuk memasukkan elemen yang berkait dengan kemahiran berfikir aras tinggi dengan izin, higher order thinking skills yang disediakan untuk pelajar bagi membolehkan mereka ada elemen kreatif dan inovasi. Yang keduanya dimasukkan dalam usaha ini ialah yang berkait dengan STEM, Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik yang dibawa sekali dan kita membuat penambahbaikan, refurbish kepada makmal-makmal sains untuk membolehkan amali dibuat secara praktikal dan yang ketiganya, elemen teknologi ataupun digital tools yang ada pada waktu ini digunakan di sekolah dengan subjek coding, robotic dan lain-lain. Ini tiga perkara yang dibawa masuk.
Untuk Pelan Pembangunan Pendidikan, ada lima teras utama iaitu akses pendidikan, kualiti pendidikan, memastikan ekuiti dalam pendidikan, memantapkan perpaduan, dan kecekapan penyampaian pendidikan. Daripada situ ada enam aspirasi murid iaitu pengetahuan, berkemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan. Dalam mendepani cabaran menuju Pelan Transformasi Nasional, usaha seharusnya bermula di peringkat awal persekolahan lagi. sehubungan dengan itu, apakah perancangan dan hala tuju sistem pendidikan awal kanak-kanak agar modal insan yang dilahirkan daripada sistem pendidikan nasional dapat memenuhi hasrat pelan TN50. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Parit. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 merupakan pelan strategi dan pelan operasi yang telah menggariskan hala tuju sistem pendidikan negara termasuklah pendidikan awal kanak-kanak. Pendidikan awal kanak-kanak merujuk kepada pendidikan yang diberi kepada umur empat tahun lebih, four plus dan lima tahun, five plus. Kementerian sememangnya memberi keutamaan kepada pendidikan awal kerana menyedari permulaan awal yang berkualiti membantu meningkatkan penguasaan ilmu pada peringkat rendah dan menengah. Kementerian telah mengadakan pelbagai strategi meningkatkan akses dan kualiti pendidikan prasekolah. (i) mewajibkan semua pengusaha menggunakan kurikulum standard prasekolah kebangsaan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan; (ii) memastikan semua guru yang mengajar prasekolah mempunyai kelayakan minimum Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, dengan izin, Diploma in Early Childhood Education menjelang tahun 2020;
(iii) memastikan semua prasekolah melaksanakan penarafan kendiri Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan dan melepasi standard minimum yang telah ditetapkan; (iv) menjalankan intervensi ke atas prasekolah yang tidak melepasi standard minimum SKPK; (v) meningkatkan enrolmen prasekolah untuk mencapai enrolmen sejagat menjelang tahun 2020; dan (vi) memberi bantuan yuran kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin yang layak untuk menyertai pendidikan prasekolah. Pelan strategi dan pelan operasi yang dilaksanakan oleh kementerian ini adalah seiring dengan hasrat TN50 untuk menjadikan negara 20 teratas dan pembangunan ekonomi kemajuan sosial dan inovasi. Sehubungan dengan itu, kita telah pun melaksanakan, meningkatkan enrolmen anak-anak yang ada di prasekolah khususnya di kawasan-kawasan di luar bandar. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Untuk mencapai pendidikan menyeluruh ini, apakah usaha bagi menyelaraskan dengan semua pihak terutamanya guru dan ibu bapa supaya tidak tercengang mereka mengenai usaha ini?
Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Tuan Yang di- Pertua, sebenarnya dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia salah satu perkara yang ditekankan adalah education for all, pendidikan untuk semua Yang Berhormat Kepong. Maknanya pendidikan ini merangkumi, merentasi semua kaum yang ada dalam negara kita. Juga merentasi semua wilayah yang ada. Jadi itu satu yang paling penting sekali untuk mendapatkan semua kanak-kanak yang ada dalam negara ini mendapat pendidikan sama ada mereka di kalangan masyarakat Orang Asli, Penan dan semua kaum yang ada dalam negara mendapat pendidikan.
Keduanya disebut tadi oleh Yang Berhormat Kepong, bahawa salah satu lagi ialah bagaimana maklumat boleh disampaikan kepada masyarakat, kepada komuniti melalui saluran-saluran tertentu. Oleh sebab masyarakat adalah stakeholders kepada pendidikan. Jadi ini dibuat melalui saranan ibu bapa. Maknanya bagaimana sekolah, guru di sekolah dan ibu bapa boleh ada kolaboratif yang kukuh di atas nama PIBG atau nama alumni sekolah atau apa juga nama yang boleh dibuat yang membolehkan mereka membuat asimilasi di antara sekolah dengan masyarakat setempat. Saya sebagai menteri melihat bahawa perkembangan saranan ibu bapa ini sangat baik pada waktu ini. Ini kerana keluarga, masyarakat, komuniti mahu datang ke sekolah bukan sahaja untuk Mesyuarat Agung PIBG, bukan sahaja untuk tujuan hari anugerah cemerlang tetapi mereka datang untuk berbincang mengenai dengan pencapaian akademik anak-anak, masalah disiplin yang berlaku di sekolah dan juga hal-hal yang berkaitan dengan kokurikulum yang ada di sekolah. Ada sesetengah sekolah telah ada jadual bagaimana mesyuarat atau perbincangan itu berlaku dari semasa ke semasa. Ini termasuklah juga dengan badan-badan kerajaan yang lain yang kita kenali sebagai N-BOS, bagaimana mereka membantu Kementerian Pendidikan. Terima kasih.
2. Tan Sri Dato' Seri Abd Khalid bin Ibrahim [Bandar Tun Razak] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan, perancangan Malaysia dalam menentukan kesediaan negara menguruskan pergolakan perdagangan antarabangsa dalam senario berlakunya trade war antara Amerika Syarikat dan negara China.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Bandar Tun Razak. Sejak Presiden Trump menjadi Presiden Amerika Januari tahun lalu, beliau telah mengambil beberapa tindakan dalam bidang ekonomi termasuklah untuk, dengan izin, Made in America First, Make America Great Again, America First by American. Sesuai langkah tersebut, dasar tersebut, maka Presiden Trump telah mengambil langkah berikut antara lainnya iaitu mengenakan duti import, safeguard sebanyak 30 peratus ke atas import solar sel pada 20 Januari yang lalu. Hari yang sama cukai ke atas mesin basuh. Ketiga ialah tarif 25 peratus 28 Mac diumumkan ke atas besi dan 10 peratus ke atas aluminium. Ini antara tindakan yang telah diambil. Berikutan daripada langkah-langkah tersebut, negara China telah bertindak balas. Semalam China mengeluarkan satu kenyataan akan mengambil tindakan ke atas 106 tariff line melibatkan hampir USD50 bilion import daripada Amerika dan tarifnya 25 peratus. Menjadi kebimbangan kita ialah ini mungkin akan mencetuskan satu keadaan yang gawat. Kita sedia maklum tahun 1930 antara sebab kenapa berlakunya great depression, pengenalan Smoot-Hawley Tariff Act di mana Amerika mengenakan tarif 20 peratus ke atas 20,000 barangan. Ini telah mencetuskan the great depression, dengan izin, dan ada berpendapat ini juga mencetuskan Perang Dunia Kedua. Itu sebabnya ditubuhkan WTO. Itu menjadi kebimbangan kita. Tuan Yang di-Pertua, kita memandang serius perkara ini walaupun China menyatakan ia akan terus mengadakan perundingan dengan negara Amerika dan tidak menganggap ini sebagai satu trade war. Akan tetapi ini kebimbangan serius kerana China merupakan negara terbesar rakan dagang, Amerika nombor tiga kepada Malaysia. Bagi besi dan aluminium, kita tidak ada kesan banyak tetapi bagi solar, eksport kita ataupun kita menguasai 25 peratus daripada import Amerika untuk solar. Oleh itu kita telah mohon untuk mengadakan perundingan dan tarikhnya ialah sekitar 17 April ini. Pegawai-pegawai kita akan berunding dengan pegawai-pegawai di Amerika Syarikat untuk mengadakan perbincangan. Saya telah menulis kepada rakan sejawatan saya Matt Heyzer (USTR) memohon supaya yang pertama Malaysia dikecualikan daripada tindakan besi dan aluminium dan supaya diadakan consultation berkaitan dengan solar. Kita berharap dengan adanya consultation ini sebahagian masalah ataupun masalah yang kita hadapi akan diselesaikan kerana Malaysia adalah besar dalam bidang solar. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Tuan Yang di-Pertua, antara barangan yang dikenakan ialah oleh China kepada Amerika adalah kacang soya. Kacang soya ini mempunyai hubung kait dengan harga minyak sawit yang dalam perdagangan antarabangsa Malaysia untuk barangan ini melebihi RM70 bilion. Oleh itu saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, bagaimana hubungan kita dengan Indonesia dan apakah strategi kita supaya dapat menentukan bahawa nilai dan perdagangan sawit ini tidak terkesan daripada berlakunya peperangan perdagangan antara China dan Amerika?
Tuan Yang di-Pertua, pertamanya tindak balas China semalam adalah satu perkara yang memang kita telah jangka. Maknanya ada retaliatory action ini. Kebimbangan saya ialah mungkin beberapa buah negara lain akan mengambil tindakan yang sama. Sebenarnya Amerika Syarikat menujukan banyak perkara ini kepada China. Ini kerana Amerika ada defisit kira-kira lebih USD350 bilion dengan China.
Jadi China surplus dia RM350 juta bilion. Apabila diambil tindakan kepada China, ada kesan negara lain kerana China negara yang besar bagi Malaysia, nombor satu negara dagang, Amerika nombor tiga. Jadi balik kepada soal Yang Berhormat Bandar Tun Razak kelapa sawit ini, untuk makluman, negara China sekarang ini menguasai lebih kurang ataupun eksport Malaysia ke China merupakan 12.1 peratus – RM9.4 bilion. Amerika, kelapa sawit dan produk kelapa sawit RM4.6 bilion – 59 peratus. Jadi kita sedia maklum bahawa kacang soya dengan minyak ini merupakan saingan. Harga kelapa sawit dalam lima enam bulan ini agak rendah berbanding dengan dua, tiga tahun lepas, sebahagiannya oleh kerana tindakan yang diambil oleh EU. Jadi kebimbangan kita ialah apabila berlakunya perang ini, kita harap tidak berlaku. Negara China menyatakan bahawa mereka tidak mahu trade war dengan Amerika Syarikat. Mereka mahu supaya diadakan constructive engagement, dengan izin. Jadi kebimbangan kita ialah oleh kerana dua gergasi Amerika Syarikat negara nombor satu ekonomi dunia, China nombor dua dalam dunia. Dua gergasi ini apabila ada masalah perdagangan dan apabila ini merebak ke negara lain ini akan mencetuskan keadaan yang agak runcing. Ini menjadi kebimbangan saya dan kita pantau. Jadi kalau kelapa sawit harganya umpamanya terjejas maka langkah-langkah yang diambil ini kita tidak tahu bagaimana keadaannya. Kita tidak boleh mengharapkan kenaikan harga kelapa sawit akibat daripada tindakan menyekat kemasukan soya daripada Amerika. Oleh kerana kita harus melihat kepada the big picture, the big picture-nya saya bimbang takut- takut tindakan China semalam ini akan mencetuskan satu keadaan yang tegang dan Malaysia sebagai sebuah negara besar dalam bidang perdagangan kita harus memerhatikan ini dengan rapi.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya, apakah kemungkinan kesan-kesan negatif terhadap ekonomi Malaysia hasil daripada perang perdagangan antara China dan US ini? Terima kasih.
Pertama, kita harap tidak akan ada perang. Negara China dalam kenyataan semalam menyatakan mereka berharap tidak akan ada perang perdagangan dan mereka masih inginkan konsultasi. Kita harap ini akan berlaku. Macam mana Amerika bersetuju untuk mengadakan perundingan dengan Malaysia mengenai solar pada 17 April, kita harap barang-barang lain, hal-hal lain pun akan di- kita ada WTO merupakan platform untuk bincang hal-hal sedemikian. Jadi kesan kepada ekonomi Malaysia kita akan pantau. Pagi tadi saya mengadakan perbincangan sekarang ini pelabur-pelabur Amerika 350 yang melabur di rantau ini mengadakan persidangan di Kuala Lumpur, yang melabur di Singapura, Thailand, Philipines, lain-lain Hong Kong mereka bersidang di Kuala Lumpur dua hari.
Pagi tadi saya ada breakfast bersama mereka, mereka telah mengeluarkan satu kenyataan pagi tadi menyatakan bahawa Amerika Syarikat masih mempunyai keyakinan penuh kepada Malaysia, 24 syarikat yang dikaji syarikat Amerika. Jadi ini memberi keyakinan kepada saya bahawa keyakinan pelabur Amerika kepada Malaysia masih lagi tinggi walaupun ada masalah-masalah. Akan tetapi itu merupakan kajian yang telah dibuat beberapa bulan yang lalu dan kita mengucapkan terima kasih atas keyakinan tersebut. Jadi dari segi pelaburan setakat ini tidak ada kesan. Dari segi perdagangan yang menjadi isunya kebimbangan saya adalah China ambil tindakan semalam baru, kira-kira USD 50 bilion nilainya meliputi 106 tariff line. Pertama kita berharap supaya China dengan Amerika berunding dan menyelesaikan masalah ini secara, dengan izin, amicable dan yang kedua kita harap tidak akan ada kerana EU pun telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mengambil tindak balas terhadap Amerika. Jadi, yang pertama saya harap akan ada constructive engagement, dengan izin dan sekiranya ini berlarutan apa yang berlaku tahun 30, tahun 30- Smoot-Hawley Tariff Act, 20 peratus naik tarif. Ini permulaan kepada peperangan perdagangan itu yang menyebabkan Depression in 1930 antara paling teruk dalam sejarah dunia mencetuskan Perang Dunia Kedua. Jadi, maknanya hal-hal ekonomi ini ada kesan kepada hal-hal politik dan keselamatan. Kita harap tidak jadi begitu. Apa pun kita harap, dengan izin, good sense will prevail dan pihak-pihak berkenaan akan berunding di meja rundingan khususnya China dengan Amerika supaya tidak terkesan perdagangan dunia. Terima kasih.
3. Datuk Liang Teck Meng [Simpang Renggam] minta Perdana Menteri menyatakan, Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 telah diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini bagi melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar. Siapakah yang akan menentukan sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberikan satu pihak yang neutral dan adil iaitu mahkamah untuk menentukan sama ada sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya, yakni dengan proses undang-undang yang sewajarnya by due process of law, dengan izin. Kuasa yang telah diberikan kepada mahkamah untuk membuat perintah bagi menghapuskan apa- apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar. Bagi tujuan permohonan perintah di bawah fasal 7, removal of fake news, dengan izin, mahkamah memerlukan laporan polis satu salinan diakui sah penerbitan fake news, dokumen lain yang berkaitan dengan permohonan serta satu afidavit menyokong permohonan yang menyatakan butir-butir diri pemohon dan butir-butir fake news seperti mana dalam pemohon. Setelah meneliti semua dokumen dan keterangan pengadu, jika perlu atas imbangan kebarangkalian on the balance of probabilities, dengan izin, bahawa penerbitan itu mengandungi berita tidak benar, maka mahkamah mengeluarkan perintah di bawah seksyen 7. Perkara ini juga terpakai dalam kes-kes yang melibatkan kerajaan. Dalam kes Inas Faiqah binti Mohd Helmi melawan pendakwa raya dan melawan Kerajaan Malaysia menyatakan dengan maksud, balance of probabilities seperti berikut, dengan izin, “The standard of proof is well settled. It must carry a reasonable degree of probability. One must appreciate that though it may be necessary for a plaintiff to proof on the balance of probabilities, that the tortious act or omission was the effective cause of the harm suffered, it is not necessary for him to proof, on the balance of probabilities, the future loss or damage will occur, but only if that there is a reasonable chance of such loss or damage occuring”. Manakala bagi kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam fasal-fasal 4 hingga 6 rang undang-undang ini sekira pertuduhan dibuat, mahkamah yang akan menentukan berdasarkan pada bukti-bukti yang sedia ada. Terima kasih.
Soalan tambahan, apakah rasional kerajaan bagi membenarkan permohonan secara ex parte untuk perintah bagi penghapusan penerbitan berita tidak benar tanpa kehadiran kedua-dua pihak dan tanpa the right to be heard, dengan izin. Adakah benar perintah mahkamah bagi apa-apa kes yang melibatkan kerajaan tidak dapat diketepikan? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bukan semua kes yang melibatkan kerajaan tidak dapat diketepikan. Akan tetapi hanya kes yang menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan negara seperti dalam sub fasal 8(3) rang undang-undang ini boleh diketepikan. Maksud public order telah dibincangkan dalam kes Tan Bong Liat melawan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri 1976. Dalam kes ini diperuntukkan, dengan izin, “the expression of public order is not defined anywhere but danger to human life and safety and the disturbance of public tranquility”. Maksud keselamatan negara, istilah tersebut tidak boleh ditafsir secara eksklusif kerana ancaman kepada negara pada zaman ini adalah dalam pelbagai bentuk. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pemberian perintah dibuat dengan permohonan ex-parte berdasarkan kepada tiga alasan utama. Pertama, penyebaran berita yang begitu pantas dengan kemudahan teknologi dan multimedia yang kompleks dan canggih. Kedua, bagi mengelakkan keadaan di mana kemudaratan yang tidak dapat diperbaiki dan tidak boleh diperbaiki, dengan izin, to step in to prevent imminent and irreparable harm. Ketiga, apa-apa kemudaratan yang dapat diakibatkan oleh penularan sesuatu berita tidak benar, sekiranya tidak diturunkan dengan kadar yang segera, lebih banyak lagi sehingga dapat menjatuhkan kredibiliti mana-mana pihak termasuk negara tidak dapat diperbaiki, dengan izin, the damages caused by fake news could not be undone. Permohonan ex parte ini juga bukan merupakan perkara baru dalam perundangan negara kita. Contoh-contoh seperti dalam permohonan injunksi, protection order, emergency protection dan sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Memandangkan Mahkamah Seksyen yang diperuntukkan untuk mendengar kes-kes di bawah akta ini mempunyai banyak kes-kes yang dibicarakan backlog of cases, adakah kerajaan ingin mewujudkan satu ketetapan contohnya mewujudkan mahkamah khas untuk mendengar kes ini ataupun kes-kes di bawah akta ini diberikan kelonggaran untuk mendapatkan certificate of urgency, sijil kesegeraan untuk mempercepatkan. Mohon penjelasan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya kerajaan tidak bercadang lagi tetapi kalau kita lihat Mahkamah Sesyen dalam negara kita terdapat di peringkat negeri-negeri yang begitu banyak. Kita juga tidak dapat menafikan jika mana-mana pihak yang memerlukan memasukkan certificate of urgency memang tidak akan dihalang oleh mahkamah. Walau bagaimanapun, sama ada mahkamah akan mewujudkan mahkamah khas tertakluk kepada senarai kebanyakan kes yang akan dipantau oleh pihak Bahagian Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri terhadap kes-kes sedemikian. Terima kasih. [Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Tuan Anuar bin Abd Manap [Sekijang] minta Menteri Pengangkutan menyatakan, apakah punca pelaksanaan Vehicle Entry Permit (VEP) terpaksa ditangguhkan sebelum ini serta bilakah jangkaan sistem VEP ini dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Negaraku Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, pelaksanaan vehicle entry permit (VEP) melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian, pemasangan infrastruktur, pembangunan sistem dan integrasi-integrasi sistem JPJ, PDRM dan kastam. Selain itu penyelarasan prosedur dengan agensi-agensi yang berada di pintu sempadan juga perlu dimuktamadkan sebelum pelaksanaan VEP dapat dilaksanakan.
Walau bagaimanapun pelaksanaan VEP disaran mengambil kira keperluan teknologi multi-lane free flow (MLFF) yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Kerja Raya. Untuk memenuhi keperluan tersebut sistem e-wallet Touch ‘n Go juga telah dibangunkan bagi membolehkan pembayaran caj jalan ataupun RC melalui FRID Tag dengan menggunakan akaun e-wallet Touch ‘n Go tanpa menggunakan kad seperti sekarang. Buat masa ini sistem VEP sedang menjalani ujian bersama dengan sistem e-wallet Touch ‘n Go bagi tujuan pembayaran RC dan pelaksanaan VEP di sempadan Johor-Singapura iaitu di Tambak Johor dan Link Kedua. Dijangka akan dapat dimulakan pada penghujung bulan April ini. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih juga kepada Menteri atas jawapan yang telah diberikan. Sebelum itu saya ingin merakamkan juga rasa terima kasih kepada pihak kementerian di atas pelaksanaan projek ETS Gemas ke Johor Bahru yang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada hari Selasa yang lepas. Juga kelulusan peruntukan untuk pelabuhan darat Segamat sebanyak RM20 juta, terima kasih kepada pihak kementerian. Permit kemasukan kenderaan ataupun VEP ini yang dikatakan akan dilaksanakan oleh pihak kementerian pada bulan April nanti. Dikatakan juga akan menggunakan teknologi pengecaman frekuensi radio RFID yang akan dilengkapi dengan sistem pembayaran tanpa tunai. Teknologi ini juga dikatakan mampu menghalang kemasukan kenderaan-kenderaan klon yang kita tahu memang banyak daripada negara-negara luar terutamanya daripada Singapura dan juga dapat mengenal pasti kenderaan asing yang tentunya mempunyai saman-saman tertunggak. Saya yakin memang banyak kenderaan-kenderaan daripada Singapura ini ada saman-saman tertunggak. Soalan saya, sejauh manakah tahap kemampuan dan juga keberkesanan teknologi ini yang sudah mula digunakan di beberapa lebuh raya dalam negara kita. Bilakah agaknya pihak kementerian bercadang untuk meluaskan lagi penggunaan RFID ini kepada kenderaan- kenderaan tempatan memandangkan teknologi ini mempunyai banyak kelebihan. Termasuk teknologi ini boleh mengenal pasti pesalah laku jalan raya di negara kita. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua, RFID ini memang teknologi yang terkinilah yang tercanggih ataupun RFID ini adalah nama singkatan daripada radio frequency identification yang digunakan tanpa bateri. RFID ini mampu membuat pengesanan yang canggih, yang cekap, daripada jauh pun dia boleh kesan dan cepat. Ini sekali gus boleh memberi kemudahan untuk kereta dapat dikesan melalui sistem ini. Apabila dia lalu di gentry, di sempadan dia tidak perlu berhenti dan dia boleh terus tanpa mewujudkan kesesakan. Ini juga akan diaplikasikan di tol-tol dalam negara dan ini akan mengurangkan kesesakan di lebuh raya kita khususnya di plaza-plaza tol. Kemampuan dia, dia boleh integrate dengan PDRM, dengan kastam dan sekali gus dia boleh mengesan kereta-kereta yang dibawa masuk ke Malaysia yang tidak balik lagi ke negara asing kita boleh kesan melalui RFID ini. Jadi ini merupakan satu teknologi yang akan kita gunakan untuk kenderaan asing. Untuk kenderaan Malaysia, kita jangka pada awal tahun hadapan kita mula mengedarkan RFID ini kepada semua kenderaan negara kita. Pihak kerajaan sedang berbincang dengan Touch ‘n Go untuk memberi secara percuma untuk rakyat Malaysia. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya pendek sahaja, saya bangsa Johor, hendak tanya berapa banyak trafik yang melalui Tambak Johor dan di Tuas. Kalau ada kutipan, berapa kutipan yang telah kita kutip Menteri. Terima kasih.
Setakat ini boleh dikatakan lebih kurang tiap-tiap bulan 450,000 kenderaan daripada negara Singapura ataupun daripada selatan yang melalui Tambak Johor dan Link Kedua lebih kurang 450,000 kenderaan setiap bulan. Setakat ini kutipan daripada RC daripada mula kita laksanakan sehingga sekarang berjumlah RM150 juta telah kita dapat pungut. Terima kasih.
Tuan Yang di- Pertua, soalan tambahan saya ialah tahniah atas usaha teknologi baru yang diperkenalkan dalam negara kita. Cuma saya ingin tahu di antara kelebihan-kelebihan dalam sistem VEP ini, apakah mungkin kelemahan-kelemahan yang mungkin akan dikenal pasti selepas ini. Setakat ini, apakah program ini akan diperkenalkan di sempadan Rantau Panjang, Golok. Memandangkan suasana ini juga berlaku kesesakan terutama di musim-musim perayaan untuk masuk ke sempadan. Minta penjelasan.
Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Setakat ini, inilah teknologi yang tercanggih jadi oleh kerana kita baru hendak laksanakan pada hujung bulan ini dan saya tidak nampak kelemahan-kelemahan. Ini kerana apa yang dapat diaplikasikan ialah untuk kita mengatasi kelemahan-kelemahan sedia ada. Jadi, setakat ini apa yang kita dapat memang ini yang terbaik. Untuk diaplikasikan di peringkat utara iaitu di sempadan Thailand, kerajaan sedang proses untuk melaksanakan di peringkat utara. Dijangka pada tahun ini kita akan selesaikan dan kita akan aplikasikan di peringkat sempadan Thailand untuk semua negeri-negeri di sempadan Thailand. Terima kasih.
Tuan Yang di- Pertua. Minta izin dua rangkap pantun. Bintang kecil di langit yang tinggi; Berkilauan menghias angkasa raya; Ternyata sudah Bandar-Tun Razak di sini; Sepuluh tahun Dewan Rakyat cukup merasa. Baik-baik bertanam padi; Jangan sampai dimakan rusa; Budi baik Datuk Menteri; Sila jawab soalan nombor dua.
Ya, sila Yang Berhormat Menteri. Saya kurang pasti orang Sabah pandai tak berpantun macam itu Yang Berhormat.
2. Tan Sri Dato' Seri Abd Khalid bin Ibrahim [Bandar Tun Razak] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan komitmen dan pelan tindakan terperinci Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan seksyen 114, Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) atau sebarang inisiatif lain bagi menyempurnakan penyusunan semula industri air Selangor yang masih gagal akibat keengganan kerajaan negeri mengambil alih SPLASH sehingga kini.
Pandai juga tapi masa tidak mengizinkan. Namun begitu saya ucap tahniah kepada pihak Bandar Tun Razak.
Jawablah.
Saya ada pantun juga. Kalau bukan kerana bulan, Manalah bintang berseri-seri, Kalau bukan kerana Bandar Tun Razak dan tuan-tuan, Manalah saya datang ke mari [Ketawa]
Disimpan lama dalam hati pantun itu, Yang Berhormat.
Ada lagi simpanan, ada lagi simpanan. Anyway, terima kasih kepada pihak Yang Berhormat Bandar Tun Razak yang masih seperti satu bintang yang begitu persistent untuk mencari penyelesaian perihal krisis air di Selangor ini kerana kerajaan yang sedia ada nampaknya tiada komitmen untuk menyelesaikan krisis yang sedia ada.
Pihak-pihak kepada perjanjian masih dalam tindakan ke arah memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan berpandangan selaras dengan konsep willing buyer, willing seller, dengan izin, Kerajaan Negeri Selangor perlu membuat tawaran harga terlebih dahulu kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor iaitu SPLASH bagi tujuan pengambilan alih ekuiti syarikat ini. Ini telah kita berkali-kali jelaskan kepada Dewan yang mulia ini. Walau bagaimanapun, sehingga kini tawaran harga masih belum dibuat dan rundingan mengenai nilai pengambilan alih di antara Kerajaan Negeri Selangor dan SPLASH masih belum selesai. Perjanjian utama telah dilanjutkan buat kali yang ketiga ke 4 Julai 2018. Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan berpandangan bahawa belum timbul keperluan untuk menguatkuasakan seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 iaitu Akta 655 bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Namun, jika perjanjian utama untuk mengambil alih SPLASH tidak dapat dimuktamadkan pada 4 Julai 2018, maka pihak Kerajaan Persekutuan akan meneliti semula option-option yang ada dalam kuasa pihak Kerajaan Persekutuan termasuk menggunakan seksyen 114 di bawah Akta 655 dengan dasar kepentingan nasional ataupun national interest, dengan izin. Terima kasih.
Tuan Yang di- Pertua, saya telah meneliti Akta 655 dan mendapati tujuan murni akta ini adalah untuk menolong kita menyusun semula industri air supaya rakyat akan mendapat suatu operasi yang menguntungkan dan cekap. Oleh sebab itu saya berharap, daripada penjelasan Menteri berkenaan bahawa tujuan kita adalah untuk mencari jalan bagaimana pembelian aset-aset air ini dibuat dengan penuh tertib dan tidak bertujuan memberikan keuntungan yang sangat lumayan dan tinggi kepada pemegang-pemegang konsesi. Dalam hal ini, ada kalanya kenyataan willing seller, willing buyer itu menyebabkan pihak konsesi merasakan mereka perlu dapat pendapatan yang sangat tinggi. Saya berharap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memikirkan kebajikan rakyat, bukan memikirkan keuntungan pihak peniaga kerana apa yang dilakukan dalam Akta 655 ini sudah jelas untuk memberikan keuntungan kepada pemilik konsesi. Justeru, adakah dalam usaha kementerian sekarang melihat dan meneliti keadaan negeri Selangor supaya pembelian kepada konsesi- konsesi ini dibuat untuk menghasilkan pulangan yang terbaik kepada rakyat Selangor?
Terima kasih Yang Berhormat Bandar Tun Razak. Tuan Yang di-Pertua, sememangnya dalam kementerian dan khususnya SPAN sebagai regulator dalam sektor air di bawah Akta 655 ini sememangnya, pokok asasnya untuk semua tindakan adalah memastikan supaya satu transparency dari segi pengurusan, dari segi migration daripada sedia kala menuju ke di bawah Akta 655 ini semuanya ada dilakukan melalui proses yang terbuka. Maka prinsip willing buyer, willing seller, dengan izin, telah digunakan semenjak akta ini dikuatkuasakan. Setakat ini ada lapan negeri yang telah selesai untuk migration. Ada enam yang sudah confirm dan ada dua yang akan ditandatangani dalam tempoh dua, tiga bulan ini. Maka Yang Berhormat Bandar Tun Razak tidak payah risau kerana prinsip yang digunakan itu adalah prinsip yang tried and proven dari segi pengurusan di bawah akta ini. Yang Berhormat sendiri pada masa Menteri Besar Selangor telah menggunakan konsep ini dari segi willing buyer, willing seller, dalam pembelian tiga syarikat pertama yang telah pun diselesaikan dengan harga yang rundingan terbuka, yang harga yang diperakui oleh pihak kerajaan negeri pada waktu itu dan pihak Kerajaan Pusat telah meneliti harga itu dan kita telah setuju mengikut perundingan itu bahawa itu adalah fair value berasas kepada valuation penilaian yang digunakan oleh kedua-dua pihak dan juga bagi pihak antarabangsa. Kedua perkara ialah- jadi Yang Berhormat sedia maklum dalam perkara ini tidak timbul. Dalam saat yang sekarang ini masalahnya adalah antara SPLASH dengan Syarikat Air Selangor iaitu Kerajaan Negeri Selangor. Untuk yang terakhir ini, mereka belum lagi memberi tawaran pada pihak SPLASH. Walaupun Yang Berhormat sebagai mantan atau Menteri Besar pada waktu itu telah memberi dua tawaran, satu cukup tinggi RM2.9 bilion dan yang terakhir RM255 juta pada waktu itu dan memang syarikat telah menerima.
Saat ini pihak Kerajaan Pusat menunggu saja memberi tawaran dan kalau itu dipersetujui nilainya oleh pihak penjual iaitu SPLASH, maka mereka perlu datang kepada pihak regulator dan kita di kementerian untuk meneliti, memberi pandangan adakah itu fair value dan berapa banyak yang Kerajaan Pusat boleh bantu dari segi pembelian tersebut. Semua ini belum lagi terjadi sampai sekarang ini. Maka itu saya katakan tadi option yang ada setakat ini ialah akta kita akan pertimbangkan setelah selesai 4 Julai apabila penangguhan atau extension, pelanjutan perjanjian itu digunakan.
Soalan tambahan Tuan Yang di- Pertua. Baru-baru ini ada masalah gangguan air di Selangor. Saya hendak tanya, adakah clause-clause perjanjian di antara SPLASH dengan kerajaan negeri kalau dia tidak perform, dia mungkir janji, sepatutnya dia boleh maintain tetapi dia tidak boleh maintain sehingga menggangu-gugat bekalan air kepada rakyat dan di mana akhirnya kalau kita tengok gosip- gosip politik, kerajaan negeri sentiasa menyalahkan Kerajaan Persekutuan. Adakah kuasa dalam mana-mana seksyen atau seksyen 114 di bawah Akta 655 di mana kerajaan negeri boleh membatalkan kontrak dengan SPLASH, konsesi ini dan Kerajaan Pusat ada kuasa untuk runding balik supaya bekalan air kepada rakyat terganggu tanpa elemen-elemen politik.
Terima kasih Yang Berhormat Mersing atas perhatian kepada perkara yang kita hadapi di Selangor mengenai pengurusan air. Sememangnya ada kuasa-kuasa di bawah akta yang sedia ada dari segi performance contract oleh pihak operator. Ada KPI-KPI yang ditentukan untuk sebuah operator itu mencapai sebelum pun lesen itu diberi ataupun disambung balik. Maka berasaskan kepada ini, pihak regulators SPAN dan kementerian sedang meneliti kuasa-kuasa yang ada dari segi breach of the delivery oleh pihak operator. Jadi dalam perkara ini memang pihak Selangor telah mengambil alih 70 peratus daripada bekalan air kecuali SPLASH saya katakan tadi. Antara sebab kenapa masalah yang kita hadapi ini kerana satu kapasiti yang tidak mencukupi. Kita burst design capacity at least hampir 10 peratus. Dia punya design capacity ertinya 4,600 million liters (MLD). Kita sedang keluarkan 4,807.
Tuan Yang di-Pertua...
Berasaskan kepada ini maka memang...
Dia tidak pernah hantar SPLASH.
Berasaskan kepada ini ertinya kita mengeluarkan lebih daripada apa yang sebenarnya mesin itu boleh keluarkan. Jadi ini antara tindakan yang sedang kita telitikan di dalam perkara ini. Selain daripada itu Yang Berhormat misalnya, dia Selangor air ini yang pemilik tiga concession yang sekarang ini hanya membayar kepada SPLASH, kontraktor yang satu itu, kontraktor SPLASH yang satu itu, 34 percent sahaja daripada tuntutan. Maka mereka tidak boleh bayar dia punya operator, subkontraktor. TNB saat ini dia dihutangi sejumlah RM64.5 juta oleh Gamuda Water Sdn Bhd dan Sungai Harmoni Sdn Berhad oleh sebab Air Selangor tidak bayar kepada SPLASH. Kami sedang meneliti ini apalagi undang-undang yang boleh dipakai terhadap kepada pihak Syabas iaitu Selangor Air. Satunya yang kami fikirkan ialah seksyen 113, di mana jika satu syarikat operator tidak membayar kepada pelanggannya ataupun kepada operatornya dan mengakibatkan masalah dan krisis kepada consumers air ini maka di bawah seksyen ini kita sedang pertimbangkan untuk menggunakan. Jadi ini antaralah tindakan-tindakan yang kita sedang laksanakan.
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Mersing ini sengaja politikkan isu air ini. Saya dapat aduan di Mersing ada juga gangguan air dan ada catuan air di Mersing.
Tidak, soalan-soalan.
Jadi seluruh negeri Johor ini tarif air ini merupakan yang tertinggi di Malaysia tetapi mereka tidak sebut di sini. Selalu Selangor, Selangor. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan negeri memang kita hendak selesaikan masalah untuk pengambil alih Syarikat SPLASH. Sebelum ini kerajaan negeri telah pun sangat transparent dan kita pun telah menghantarkan laporan penilaian antarabangsa tentang Syarikat SPLASH ini. Kerajaan Pusat Menteri pun setuju supaya Kerajaan Pusat (Federal) juga melantik satu konsultan penilaian bebas untuk dapatkan angka itu. Sampai sekarang kita tidak dapat maklum balas daripada Federal. So, jangan hanya panggil negeri sebut harga sahaja tetapi harga itu kena fair untuk consumer terutama rakyat di Selangor, Putrajaya dan Wilayah. Ini kerana kita tidak mahu selepas pengambilalihan SPLASH ini dan rakyat di bawah ini terpaksa membayar...
[Dewan riuh]
Jadi MB.
...Tarif air yang tinggi seperti di Johor.
Yang Berhormat.
Terima kasih.
[Dewan riuh]
Saya sedia maklum Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan hendak defend dia punya Menteri Besarlah, tetapi...
Sebutlah, sincere sikitlah jangan politikkan isu air ini.
Diamlah Menteri jawab.
Tidak, okey saya jawab.
Diamlah Yang Berhormat Hulu Selangor.
Air itu penting.
Johor misalnya...
Jawab soalan.
Johor misalnya dari segi...
As orang kuat MB.
Okey, proses penentuan tarif ini...
...Isu air.
Proses penentuan tarif ini adalah seperti mana saya katakan tadi dibuat secara transparent, so tarif di Johor itu adalah seperti yang dipohon oleh pihak operator...
Sabah juga banyak kawasan tidak ada air Yang Berhormat Menteri.
Kami hanya mengatakan...
Balik Sabah dan selesaikan masalah air di Sabah...
[Dewan riuh]
Di Selangor simple sahaja. Saya hanya masih ada...
Yang Berhormat masih ada mood untuk bertelagah hari akhir Yang Berhormat.
Memang kita agak adakan penilaian untuk supaya apabila Selangor dan memberi tawaran kepada SPLASH, kita boleh beri opinion...
Lawan tetap lawan.
...Fair atau tidak harga itu. Akan tetapi nilai yang kita dapati daripada penilaian antarabangsa bukan untuk Selangor, itu untuk Federal Government to decide whether the offer is fair or not. Jadi dia hendak Federal name the price terus dia katakan bukan saya punya harga, Federal menentukan harga. Apa punya itu. You know itu gila...
[Dewan riuh]
You suka perempuan yang hendak tunang, mahu orang tengah sebut berapa hantaran kah? Itu bagus sahaja kahwin sendirilah kalau begitu. Kita bukan tolollah.
Mana boleh buat pemilihan begitu Yang Berhormat Menteri.
....Selangor ini, so name the price...
Yang Berhormat Menteri sincere sikitlah, selesai masalah ini.
Name the price. Sebut harga hari ini...
Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan.
...Esok saya boleh katakan, kementerian boleh katakan fair or not dan we can release to you, on what basis are we saying is a fair price. Because we have Rashid Hussain International Pricing. Apa takut, kenapa takut dengan Yang Berhormat Bandar Tun Razak dia sudah pencen, senang sahaja. Okey, terima kasih.
3. Dato' Haji Abdul Rahman bin Mohamad [Lipis] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan, persediaan yang telah dilakukan oleh pihak kementerian dan agensinya dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 nanti.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ada azam untuk tidak berpantun dalam Dewan ini. Jadi saya...
You are keeping the record Yang Berhormat Timbalan Menteri.
...Tidak akan menjawab pantun tersebut [Ketawa] Tuan Yang di-Pertua kerajaan melalui PDRM, Polis Diraja Malaysia sentiasa komited dalam memastikan Pilihanraya Umum Ke-14 berjalan dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan. Kita hendak pastikan bahawa rakyat dapat peluang untuk mengundi lima tahun sekali tanpa ada apa-apa masalah yang menghalang mereka daripada berbuat demikian. Jadi dalam hal ini PDRM telah memastikan bahawa semua pegawai dan anggota polis yang bertugas pada tempoh tersebut akan mampu menjalankan tugas dengan baik dan juga dengan efisien dan juga profesional. Kita juga telah menyediakan peralatan yang secukupnya kepada mereka untuk menjalankan tugas untuk hari tersebut. Saya bertegaskan di sini bahawa pihak polis akan mengambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan atau melakukan kesalahan atau tindakan yang mampu menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang pilihan raya yang akan datang.
Tuan Yang di-Pertua sebenarnya PDRM telah bersedia sejak September 2016 sehingga sekarang dan pihak polis telah menyediakan seramai hampir 70,000 orang anggota untuk menghadapi PRU-14. Terdapat tiga kategori utama kerja yang diterapkan kepada pegawai di semua peringkat seperti berikut. Kita bagi mereka latihan berbentuk classroom, berbentuk crisis management, berbentuk seminar pilihan raya umum, kursus pengurusan media, kursus pilihan raya dan kursus bilik gerakan yang diadakan di seluruh negara. Kita juga pastikan bahawa mereka menjalani physical training untuk menyiapkan light strike force ataupun public order riot unit kita untuk bersedia menangani apa-apa kekacauan yang berlaku.
Selain itu, kita mengadakan latihan amal sebanyak dua kali yang berfasa daripada sebelum pilihan raya dibubarkan kepada hari penamaan calon, kepada tempoh berkempen, hari mengundi dan juga pasca pilihan raya. PDRM juga mengadakan tabletop exercise secara N-BOS yang melibatkan SKMM, bomba, Angkatan Tentera Malaysia bagi mendedahkan mereka kepada pengurusan krisis yang mungkin tercetus disebabkan oleh elemen-elemen ketenteraman awam dan juga pengganas. Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dengan kerjasama SKMM juga telah menubuhkan taskforce bagi memantau media sosial seperti Facebook, Twitter dan WeChat. Tindakan akan diambil di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga Akta Jenayah Komputer 1997 bagi semua fitnah yang bakal dilemparkan dalam pilihan raya akan datang. Juga akhirnya, PDRM telah menempatkan kumpulan-kumpulan Cantas di semua kawasan pilihan raya dan kawasan-kawasan hotspot berdasarkan kepada maklumat terkini yang diterima. Arahan diberikan kepada semua Ketua Polis Daerah untuk memantau semua ceramah, kempen, pemasangan bendera, banner, poster dan pengedaran risalah agar dibuat berlandaskan undang-undang yang berkaitan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga Akta Perhimpunan Aman 2012.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri yang menjawab soalan sebentar tadi. Saya pun agak yakin bahawa kesiapsiagaan pihak polis PDRM telah melebihi 100 peratus untuk menghadapi pilihan raya. Ini sebab kita melihat selain daripada pilihan raya pun, kita tengok sekarang ini pagi tadi pun sudah ada provokasi di laluan masuk ke Parlimen, boleh dikatakan hampir setiap hari oleh pihak-pihak tertentu. Biasanya pihak pembangkanglah, bukan pihak-pihak tertentu yang melakukan perkara ini. Jadi soalan saya, saya melihat soalan saya tadi telah pun dijawab iaitu pemantauan dari segi Twitter, FB, yang mungkin provokasi yang cukup ketara waktu pilihan raya. Akan tetapi Yang Berhormat Menteri telah mengatakan bahawa penubuhan tersebut alhamdulillah, maka kita hendak supaya keadaan pilihan raya yang bersih. Cuma soalan saya, satu soalan saya iaitu bagaimana pula pihak PDRM hendak memantau kumpulan-kumpulan penjudi ataupun gengster mungkin, yang bertaruh keputusan pilihan raya? Sekarang ini pun saya sudah dengar bertarung siapa jadi calon, siapa tidak jadi calon. Mereka kata Yang Berhormat Kuala Langat mungkin tidak jadi calon, mereka bertarung. Contoh macam itulah maknanya...
[Dewan riuh]
Akan tetapi, bagaimana...
Contoh sahaja. Contoh.
Contoh. Saya cakap contoh.
Sangkaan jahat ini.
Saya cakap contoh. Saya cakap contoh.
Dia tolong promote itu Yang Berhormat.
Bagaimanakah pemantauan geng-geng perjudian menghadapi PRU 14 ini? Soalan saya.
Terima kasih Yang Berhormat. Itu merupakan satu soalan yang begitu baik dan mungkin tidak diketahui ramai bahawa ada kegiatan sindiket-sindiket perjudian yang mengambil kesempatan di atas keputusan pilihan raya. Akan tetapi yang perjudian kepada siapakah calon, itu saya baru dengar. Ini mungkin akan dimasukkan dalam SOP pihak polis untuk memantau pula, bukan sahaja perjudian kepada keputusan pilihan raya, tetapi perjudian siapa jadi calon pun akan digunakan sebagai peluang untuk berjudi. Jadi Yang Berhormat, sebenarnya kegiatan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya ini memang daripada semasa ke semasa bertambah canggih. Dahulu memang aktiviti perjudian ini mempengaruhi sedikit sebanyak keputusan pilihan raya. Sekarang ini ada fake news, sekarang ini ada kempen alam maya dan sebagainya. Seperti saya maklumkan tadi dalam jawapan saya, memang kita akan pantau semua perkara ini. Saya hendak maklumkan di sini juga bahawa sebenarnya KDN telah menjalankan operasi Ops Dadu yang khas sejak empat ke lima bulan lepas untuk membanteras aktiviti perjudian. Ini bukan sahaja perjudian atas talian, tetapi perjudian awam. Jadi, pihak polis akan sentiasa memantau dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengekang aktiviti perjudian haram yang berkenaan dengan mempengaruhi keputusan pilihan raya. Jadi Yang Berhormat, sebenarnya PDRM sudah lebih advanced. Kita telah tubuhkan 48 team taskforce yang khusus untuk menangani isu gengsterisme dengan perjudian haram di seluruh negara. Kita akan pantau mereka, kalau mereka buat kesalahan sahaja, kita akan mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi. Kita juga akan menggunakan undang-undang seperti Akta Pertaruhan 1953, Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Ini akta-akta yang sedia ada sejak berpuluh tahun yang digunakan untuk mengawal selia aktiviti perjudian terbuka. Di samping itu, POCA pun, Akta Pencegahan Jenayah 1959 akan digunakan sebagai alternatif kepada mereka yang menjadi penganjur kepada aktiviti negatif dan haram yang mempengaruhi keputusan pilihan raya akan datang. Selain itu, PDRM juga menjalinkan kerjasama dengan SKMM untuk mengesan dan menyekat laman sesawang web yang digunakan untuk aktiviti pertaruhan untuk mempengaruhi keputusan Pilihanraya Umum Ke-14 akan datang. Jadi akhirnya, Kementerian Dalam Negeri ingin mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti perjudian kerana kegiatan anda dipantau, diperhatikan dan akan diambil tindakan sekiranya didapati bersalah. KDN juga menasihatkan rakyat supaya menghindarkan diri daripada aktiviti yang tidak sihat ini dan melaksanakan tanggungjawab mengundi yang hanya diberikan setiap lima tahun sekali dengan secara adil dan saksama. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Timbalan Menteri, persempadanan semula bahagian pilihan raya telah menyebabkan bertambah tugas dan kerja kakitangan kerajaan khususnya polis dalam saat-saat akhir ini tanpa persiapan awal yang menyebabkan tergesa- gesa. Saya beri satu contoh, di kawasan Parlimen Bukit Bintang melibatkan tiga IPD iaitu IPD Dang Wangi, IPD Cheras dan IPD Brickfields. Ini tidak mengikut apa yang lulus, hanya satu IPD di kawasan Parlimen sahaja. Apakah tindakan akan dilakukan oleh kementerian memastikan bahawa keselamatan terjamin dalam pilihan raya umum yang akan datang ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bintang. Sebenarnya aktiviti untuk menyusun gerak kerja polis ini dibuat tanpa mengira proses persempadanan semula kerana dia berlandaskan kepada kedudukan setiap IPD dan IPK yang ada. Apa yang pentingnya, taskforce yang telah diwujudkan seperti yang saya sebutkan tadi dan juga latihan amali yang telah dibuat. Itu adalah berdasarkan kepada keadaan semasa. Jadi sekarang ini apabila sudah ada persempadanan semula, pihak polis akan mengkaji semula segala aktiviti-aktiviti polis yang mungkin terlibat dengan aktiviti persempadanan semula ini dan pihak polis akan menyusun semula semua aset dari segi anggota dan juga peralatan untuk digunakan secara paling efektif untuk memastikan keselamatan pada pilihan raya akan datang. Jangan takut Yang Berhormat, Bukit Bintang selamat. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, soalan yang ketiga.
Ya Yang Berhormat. Ringkaskan Yang Berhormat.
Ya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kemungkinan besar esok Parlimen akan dibubarkan dan kita semua akan menghadapi mother of all elections. Bukan sahaja Tuan Yang di-Pertua, bahawa satu pilihan raya setiap tahun we will ensure there is accountability. Apa yang perlu ialah free and fair election. Kita semua tahu peranan pihak polis. Saya dalam 16 tahun ini kalau kita tengok dalam rekod itu, it is good. Akan tetapi yang menjadi masalah dengan masyarakat adalah the element of biasness. Bila laporan dibuat oleh pihak pembangkang atau pihak ketiga terhadap pihak calon yang lain, tidak ada tindakan segera diambil. Di pilihan raya dahulu pun saya sendiri ada terlibat dalam perkara sedemikian. Soalan saya adalah apakah kawal selia oleh kementerian supaya ia menjalankan tugas sebagai caretaker government, bukan kerajaan- it is not a government in power at that time, it is a caretaker government. Adakah kerajaan faham apa itu caretaker kerajaan? Nombor satu.
Nombor dua, apakah peranan lain-lain seperti we all know lah peranan yang dimainkan oleh Special Branch. Esok apa yang saya hendak buat, mereka sudah tahu. So bukan dia tak tahu tetapi yang mustahak adalah peranan lain-lain agensi seperti penjaga rasuah kerana peranan walaupun Parlimen belum dibubarkan, memberi hadiah-hadiah, gifts, geran, title dan sebagainya sudah dimulakan.
Ya, ringkaskan Yang Berhormat.
Jadi, apakah fungsi yang dibuat oleh kementerian dan agensi-agensinya terutama MACC dan adakah apa-apa peranan untuk tentera dan sebagainya. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, Malaysian Elections are free and fair...
[Dewan riuh]
Kalau tidak, tak ramai daripada saudara-saudara daripada pembangkang yang duduk di sebelah sana.
We should have formed government long time ago if it is free and fair.
Itu satu, itu satu.
Yang Berhormat Ipoh Barat, duduklah Yang Berhormat.
Kedua, pihak polis menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkecuali. Itu tak ada soal. Baru-baru ini ada kes Yang Berhormat Shah Alam, eh dua tahun lepas ada kes Yang Berhormat Shah Alam yang diserang di Parlimen pun polis ambil tindakan, bukan tak ambil. Soalnya nak kumpul bukti yang cukup. Ketiga Yang Berhormat, masa pilihan raya nanti, caretaker government. That means the police are free and independent to do what they want to do as according to the law. Jadi saya nak tegaskan di situ bahawa pihak eksekutif sudah tidak wujud lagi pada ketika itu dan pihak polis akan bertindak secara bersendirian. Keempat, tadi Yang Berhormat sebut pasal soal-soal aduan polis di peringkat- masa pilihan raya nanti. Perkara tersebut saya dah sebut dalam jawapan saya tadi, ada task force yang dibentuk di peringkat Ketua Polis Daerah yang akan memantau segala aduan dan juga memantau perjalanan pilihan raya di setiap kawasan. Maknanya tindakan akan diambil cepat. Jadi saya tak tahu sama ada Yang Berhormat buat apa-apa dakwaan ini berdasarkan kepada bukti yang kukuh atau tidak tetapi yang pentingnya pihak polis akan mengambil tindakan mengikut keadaan dan suasana pada hari tersebut. Pilihan raya sekejap sahaja, Yang Berhormat. Pihak polis kalau nak buat siasatan, dia ambil masa yang lama, bukannya sekejap. Yang pentingnya keputusan pilihan raya itu akan menentukan kerajaan akan datang...
Macam mana mahu elak korupsi?
Yang Berhormat, duduklah Yang Berhormat.
Aktiviti corruption who is very wide spread.
Tak, tak. Ini bukan debat Yang Berhormat, ini saya jawab soalan. Saya jawab soalan.
Yang Berhormat Ipoh Barat, hari ini hari akhir kita Yang Berhormat. Tak payahlah bergaduh.
[Ketawa] Yang pentingnya, saya nak tegaskan sekali lagi bahawa polis akan jalankan tanggungjawab dalam masa caretaker government dengan berkecuali dan akan buat tindakan mereka dan penguatkuasaan mereka mengikut undang-undang yang sedia ada pada ketika itu. Tak adil Yang Berhormat membuat tuduhan yang melulu, tadi Yang Berhormat sebut pasal cawangan khas dan sebagainya. Apa yang penting, the election result is the final result, Yang Berhormat. Itulah suara rakyat menentukan kerajaan. Kalau Yang Berhormat duduk di sini nanti, Yang Berhormat mungkin akan berpandangan berbeza dengan saya.
Terima kasih mempelawa kita untuk duduk sana. Kita sedia.
4. Tuan Ahmad Marzuk bin Shaary [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan, jumlah jemaah umrah dan haji dari Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci dan punca kematian mereka sejak tahun 2010. Apakah langkah-langkah tambahan dan bantuan kerajaan dalam memastikan jemaah umrah dan haji yang jatuh sakit mendapat rawatan segara dan terbaik termasuk ditemani oleh waris terdekat.
Dalam maknanya itu. Tuan Yang di-Pertua, semua orang berpantun, saya pun nak berpantun jugalah.
Ya, sila Yang Berhormat Menteri.
Saya guna pantun Melayu lama. Sorong papan tarik papan; Buah keranji di dalam perahu; Suruh lawan kita lawan; Insya-Allah BN menang PRU. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, seramai 411 jemaah haji Malaysia telah meninggal dunia di Tanah Suci sejak tahun 2010. Secara keseluruhannya, tiga punca utama kematian mereka adalah disebabkan oleh masalah jantung sebanyak 44 peratus. Paru-paru ataupun pneumonia sebanyak 32 peratus dan jangkitan kuman sebanyak lima peratus. Bagi memastikan kesihatan jemaah haji dan rawatan yang terbaik semasa di Tanah Suci, Lembaga Tabung Haji telah mengambil langkah-langkah berikut: (i) setiap bakal haji perlu melalui dan lulus pemeriksaan kesihatan yang diluluskan oleh Lembaga Tabung Haji dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara sebelum berlepas ke Tanah Suci; (ii) semasa musim haji, TH menyediakan petugas rombongan perubatan yang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan, pegawai farmasi, jururawat dan lain-lain kakitangan sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Rombongan perubatan ini juga akan berkhidmat di dua pusat rawatan kita di Madinah dan Makkah dan di klinik-klinik yang dibuka di semua bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci. Pasukan perubatan ini juga membuat lawatan dari bilik ke bilik penginapan jemaah haji untuk mengenal pasti jika ada keperluan rawatan;
(iii) Tabung Haji juga membuka pusat-pusat rawatan dan klinik-klinik untuk beroperasi semasa musim haji setiap tahun yang memperoleh kelulusan khas daripada Kerajaan Arab Saudi. Ia adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kesihatan jemaah haji negara ini. Pusat-pusat rawatan dan klinik-klinik ini akan beroperasi sepanjang musim haji bagi memastikan para jemaah mendapat akses kepada perkhidmatan perubatan yang diperlukan; dan (iv) bagi jemaah haji yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dihantar dan dibawa ke hospital-hospital Kerajaan Arab Saudi yang terdekat untuk mendapat rawatan dan ini akan dipantau oleh pasukan khas yang diketuai oleh doktor-doktor pakar yang dibawa oleh Tabung Haji daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya berkaitan dengan tragedi kren runtuh yang berlaku pada 11 September 2015. Mengikut maklumat daripada akhbar Saudi Gazette melaporkan bahawa mahkamah Saudi telah menolak untuk membayar pampasan- diyat, kepada mangsa-mangsa yang tercedera dan juga terbunuh termasuk dari Malaysia. Laporan itu juga menyatakan bahawa keputusan mahkamah itu tidak terikat dengan kenyataan daripada Raja Salman sendiri untuk membayar pampasan. Bermakna, satu kenyataan daripada Raja Salman untuk memberi pampasan barangkali diteruskan. Soalan saya ialah, sekarang ini mangsa-mangsa yang tercedera dan ada yang terbunuh bertanya-tanya termasuk di kawasan saya pun ada seorang mangsa, bila untuk keputusan terakhir terhadap pampasan yang diumumkan oleh Raja Salman itu. Begitu juga dengan jemaah haji yang sepanjang musim haji tidak mampu untuk melaksanakan haji tetapi bila dah balik Malaysia, mereka hidup dalam keadaan sihat balik. Apakah inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan?
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya daripada Bachok. Ya, peristiwa yang menyayat hati berlaku pada 11 September 2015 itu seperti mana yang dimaklumi telah mengorbankan seramai 111 orang termasuk tujuh orang jemaah haji Malaysia dan 12 orang lagi yang tercedera. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat tadi, kita menerima perkhabaran yang sama pada bulan Oktober 2017 yang lepas. Saudi Gazette telah melaporkan bahawa mahkamah di Arab Saudi telah pun memutuskan bahawa insiden kren tumbang di Masjidil Haram yang berlaku pada tahun 2015 itu bukan disebabkan oleh kecuaian tetapi disebabkan oleh bencana alam yang akhirnya mengangkat segala kebertanggungjawaban pihak syarikat yang disyaki bertanggungjawab pada peringkat awal akibat daripada kren tumbang tersebut dan ini tidak memungkinkan mereka untuk membayar diyat ataupun ganti rugi kepada waris dan mangsa insiden. Akan tetapi sebagaimana Yang Berhormat sebutkan tadi, ia tidak mengikat kepada keputusan Raja Arab Saudi yang mengumumkan untuk memberikan ganti rugi ataupun memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa haji. Sebagaimana Yang Berhormat tahu, sumbangan ataupun janji ini adalah sebagaimana dengan izin... [Bercakap dalam bahasa Arab] Ataupun unilateral promise, dengan izin, ataupun janji daripada satu pihak yang tidak mengikat kepada kedua-dua belah pihak. Jadi di peringkat Kerajaan Malaysia, kita sentiasa berhubung dengan pihak Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaannya untuk mendapatkan maklum balas daripada semasa ke semasa bagaimanakah letak duduknya pampasan ataupun sumbangan yang diumumkan oleh Raja Arab Saudi ketika berlakunya kren tumbang tersebut. Jadi itu sahaja yang kami dapat lakukan tetapi di peringkat Tabung Haji sebenarnya untuk pengetahuan semua, apabila kren tumbang itu berlaku, kita sudah pun melunaskan tanggungjawab kita membayar pampasan dan takaful sebanyak RM20,000 dan juga sebanyak RM3,000 khairat kematian kepada setiap orang mangsa terutamanya yang terkorban. Manakala yang tercedera, kita membayar antara SAR1,000 ke SAR3,000 bergantung kepada tahap kecederaan.
Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan soalan yang kedua, apa yang berlaku kepada jemaah haji yang pergi ke sana tetapi apabila berada di sana, mereka tiba-tiba sakit ataupun tidak sedarkan diri yang menyebabkan mereka terlantar, tidak dapat menunaikan manasiq haji ataupun menunaikan haji. Untuk kes-kes seperti ini, seperti tahun lepas, kita mempunyai satu kes daripada Kelantan bernama Dr. Ahmad Yani yang apabila sampai sahaja ke Makkah, beliau tidak sedarkan diri. Beliau hanya sedarkan diri sehari selepas berakhirnya wuquf. Maknanya beliau tidak dapat melaksanakan haji. Apa yang sudah menjadi dasar Tabung Haji Tuan Yang di-Pertua ialah bagi kes-kes seperti ini, Tabung Haji akan memulangkan kembali RM9,980 duit jemaah haji tersebut dan sekiranya kesihatannya memungkinkan untuk dia melaksanakan haji pada tahun berikutnya, maka beliau akan diberikan keutamaan. Ini adalah polisi dan dasar Tabung Haji yang telah pun diamalkan sejak zaman berzaman. Oleh sebab itulah saya katakan tidak ada institusi di dunia hari ini seperti mana Tabung Haji sehinggakan ke peringkat kebajikan mangsa ataupun jemaah haji yang sakit sebegitu rupa pun kita memberikan layanan yang sebegitu rupa. Jadi itu sahaja daripada saya. Terima kasih.
5. Dato' Hajah Normala binti Abdul Samad [Pasir Gudang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan peranan pihak kementerian dalam mengatasi masalah tuntutan PERKESO terhadap penyakit-penyakit pekerjaan yang sukar dibuktikan seperti sakit pinggang, tekanan mental dan sebagainya.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam 1Malaysia, salam negara ku Malaysia. Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang. Tuan Yang di-Pertua, di bawah seksyen 2 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta 4, penyakit khidmat ialah satu penyakit akibat risiko pekerjaan dan diperihalkan di bawah seksyen 28 dan Jadual Kelima, Akta 4. Manakala di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, Akta 789, penyakit pekerjaan diperihalkan di bawah seksyen 16, dan Jadual Kelima, Akta 4. Persoalan sama ada sesuatu bencana pekerjaan disebabkan oleh penyakit khidmat seperti di Jadual Kelima adalah diputuskan oleh Jemaah Doktor Khas (JDK) dan Jemaah Doktor Rayuan Khas (JDRK) di bawah Akta 4. Manakala di bawah Akta 789 diputuskan oleh Penilai Perubatan JDR.
(i) bukti pendedahan risiko yang spesifik di tempat kerja; dan (ii) bukti kewujudan penyakit disebabkan oleh pendedahan tersebut. Sebagai contoh, hilang pendengaran disebabkan oleh pendedahan bunyi bising di tempat kerja atau penyakit asma, paru-paru disebabkan kimia di tempat kerja. Sakit pinggang atau belakang adalah sukar dibuktikan sebagai penyakit khidmat disebabkan pelbagai faktor luaran sakit pekerjaan. Kajian-kajian terbaru yang dibuat contohnya kajian ke atas pasangan kembar di Sweden dan Australia menunjukkan bahawa faktor genetik memainkan peranan yang besar dalam menyebabkan sakit pinggang dan belakang. Oleh itu, garis panduan yang disediakan oleh PERKESO amat penting sebagai panduan kepada penilai perubatan, ahli panel JDK ataupun Jemaah Doktor Khas dan juga JDRK atau Jemaah Doktor Rayuan Khas dalam menentukan taksiran penyakit khidmat. Penyakit pekerjaan PERKESO telah mengambil tindakan berikut, pertama penerbitan buku Guidelines on the Diagnosis of the Occupational Disease, First Edition 2007 dan disemak semula pada tahun 2009. Penerbitan buku ini adalah pelengkap kepada Jadual Kelima, Akta 4 dan dapat membantu penilai perubatan, ahli panel JDK dan JDRK dalam menentukan diagnosis penyakit khidmat mengikut kriteria yang telah ditetapkan berdasarkan evidence-based medicine, dengan izin, dan standard antarabangsa.
Kedua, penambahan senarai penyakit khidmat di dalam Jadual Kelima, Akta 4 daripada 44 jenis penyakit kepada 226 jenis penyakit adalah berpandukan kepada International Labour Organization (ILO), List of Occupational Disease yang telah terbukti melalui kajian saintifik yang telah dijalankan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas penerangan tadi. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya menyebut sedikit di sini. Sebagai pengamal sumber manusia lebih 33 tahun sebelum saya menjadi Ahli Parlimen. Kemudian saya banyak dirujuk oleh pekerja-pekerja tentang permasalahan ini, penyakit yang disebabkan oleh khidmat mereka di tempat kerja masing-masing. Jadi saya ingin bertanya kepada pihak kementerian. Saya maklum soal jemaah rayuan, SOCSO dan sebagainya. Kita hendak ada sedikit prihatin memang suara saya adalah suara pekerja. Saya bawa suara pekerja, jiwa saya sangat kuat untuk membela pekerja-pekerja ini. Mereka ini berada di tempat kerja lima tahun, 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun. Kadang-kadang membuat kerja yang sama selama mereka berada di situ. Kalau kerja itu berdiri, berdirilah. Kalau kerja itu mereka perlu duduk, duduklah. Kalau mereka terlampau memerlukan satu penelitian yang sangat teliti maka begitulah keadaan kerjanya. Maka dengan keadaan sedemikian rupa, pernah kah pihak Jemaah Rayuan Doktor ini sebelum menolak sesuatu kes pergi ke tempat kerja untuk menilai bahawa yes, mereka ini layak atau tidak layak. Ini kerana kalau pekerja biasa tidak ada insurans lain yang mereka akan bergantung selain daripada insurans SOCSO yang disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang sangat prihatin kepada pekerja-pekerja. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak jawab soalan kedua ini Tuan Yang di-Pertua dengan pantun saya. Pergi ladang tanam halia; Singgah berehat sambil makan; Yang Berhormat Pasir Gudang amat setia; Kerajaan Barisan Nasional kita pertahankan. Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya kita wajar memberikan kepercayaan kepada pakar- pakar yang telah pun kita pilih. Umpamanya kita ada Jemaah Doktor daripada 126 hospital. Kemudian Jemaah Doktor Rayuan di 21 buah hospital. Saya bersetuju dengan apa ditimbulkan oleh Yang Berhormat Pasir Gudang. Oleh sebab memanglah kita cukup prihatin dengan pekerja-pekerja kita bukan setakat dari segi penyakit pekerjaan ini bahkan dalam sudut-sudut yang lain termasuk mereka diberhentikan kerja dan sebagainya. Oleh sebab itulah menjadi pra syarat kepada panel-panel doktor ini, Jemaah Doktor dan Panel Doktor antaranya mereka juga akan membuat siasatan dengan pergi ke tempat kerja di mana dikatakan bahawa tempat inilah menyebabkan mereka menerima ataupun mengakibatkan mendapat penyakit pekerjaan ini. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya tidak ragu-ragu dan pada saya pandangan yang diberikan oleh Yang Berhormat Pasir Gudang itu cukup baik. Insya-Allah kita akan cuba pertingkatkan dari semasa ke semasa bagaimana kita boleh memastikan supaya pekerja- pekerja yang menerima penyakit, mendapat penyakit akibat daripada tempat kerja ini akan diberikan kepastian dan keyakinan supaya mereka mendapat perhatian dan juga pembelaan yang sewajarnya. Tuan Yang di-Pertua, sedikit sahaja hendak menunjukkan keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional. Ini bagaimana pengorbanan yang diberikan kepada pekerja kita. Tahun 2015 jumlah perbelanjaan kerajaan kepada pekerja-pekerja kita ialah RM2.6 bilion. Tahun 2016 RM2.948 bilion dan tahun 2017 meningkat kepada RM3.274 bilion. Jadi marilah sama-sama kita berikan sokongan kepada kepimpinan Barisan Nasional kita. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
6. Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching] minta Menteri Kerja Raya menyatakan, dengan terperinci berkenaan harga kontrak bagi setiap pakej dalam projek penaiktarafan Pan Borneo Highway di negeri Sarawak. Apakah jangka masa pelengkapan dan status kemajuan semasa (sehingga 1 Mac 2018) bagi setiap pakej tersebut.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Bandar Kuching di atas soalan yang dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, fasal 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri Sarawak terdiri daripada 11 pakej bermula daripada Telok Melano Sematan hingga ke Miri. Keseluruhan pakej tersebut sedang dibina secara berperingkat seawal September 2016 dengan tempoh pembinaan adalah antara 39 bulan hingga 51 bulan.
Kesemua pakej ini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2021. Manakala kos bagi setiap projek adalah di antara RM580 juta hingga RM2.113 bilion. Secara keseluruhan status kemajuan projek ini sehingga Mac 2018 adalah 14.76 peratus berbanding jadual 12.78 peratus. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan, soalan saya adalah mengenai tentang maklumat terperinci untuk setiap pakej yang dianugerahkan mengenai penaiktarafan Pan-Borneo Highway setakat 1 Mac 2018. Saya harap Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh beri saya maklumat terperinci untuk setiap pakej kerana dalam sesi lalu saya juga ada tanya similar question tetapi untuk jangka masa yang berbeza. Saya diberi itu maklumat terperinci untuk setiap pakej, kali ini nampaknya Parlimen hendak bubar sudah. Tidak ambil soalan serius. Oleh itu saya haraplah Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh beri saya tentang maklumat terperinci. Saya ada satu soalan iaitu tentang pakej yang khususnya di mana ada flyover akan dibina di Batu 4, Batu 6, Batu 7, Batu 10 di Kuching. Empat flyover yang dicadangkan dalam salah satu pakej penaiktarafan Pan-Borneo. Mengikut penelitian saya itu pack-pack yang dibuat untuk marking tapak pembinaan itu telah dua tahun lalu sudah buat pack tetapi pack itu pun hilang sudah. Apa sebabnya pembinaan flyover itu tidak dimulakan. Saya juga terima aduan daripada ramai pengguna jalan Pan-Borneo di mana lampu- lampu amaran yang tidak cukup, safety measures-safety measures tidak cukup di sepanjang Pan-Borneo Highway di mana itu kerja penaiktarafan itu dijalankan. Oleh itu amatlah bahaya untuk pengguna-pengguna jalan raya itu khususnya pada masa malam. Oleh itu saya haraplah apakah cadangan Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk, to remedy the situation. Thank you.
Terima kasih, Yang Berhormat Bandar Kuching di atas soalan yang dikemukakan Yang Berhormat. Saya akan memberikan Yang Berhormat maklumat terperinci mengenai projek-projek Pan-Borneo di negeri Sarawak untuk makluman Yang Berhormat termasuklah progress projek tersebut. Tuan Yang di-Pertua, untuk menjawab persoalan mengenai flyover yang dikemukakan oleh Yang Berhormat itu dan juga termasuklah soal marking dan pack-pack yang sepatutnya diadakan di kawasan-kawasan yang terlibat dengan projek Pan-Borneo dan Yang Berhormat juga bertanyakan mengenai flyover, Yang Berhormat. Bila boleh dimulakan termasuklah lampu-lampu amaran, safety measures Yang Berhormat katakan tidak mencukupi. Yang Berhormat saya ingin maklumkan kepada Yang Berhormat dalam soal keselamatan kita tidak ada kompromi, Yang Berhormat. Kita mengutamakan soal-soal keselamatan terutama sekali dalam usaha kerajaan melalui PDP dan juga kontraktor yang terlibat kita sering mengadakan engagement untuk membincangkan dan seterusnya mengemukakan aduan-aduan sekiranya ada termasuklah aduan-aduan daripada Ahli-ahli Parlimen Dewan ini. Perkara ini kita kemukakan Yang Berhormat dan mengambil bukan sahaja dikemukakan tetapi meminta pihak PDP dan juga pihak kontraktor untuk mematuhi serta mengambil serius mengenai aduan-aduan terutama sekali dari segi keselamatan dalam usaha mereka dan proses pembinaan ataupun naik taraf jalan-jalan Pan-Borneo terutama sekali di negeri Sarawak dan juga negeri Sabah, Yang Berhormat, itu keutamaan kita.
Selain daripada itu Yang Berhormat, kita dalam soal safety, dalam soal keselamatan kita akan dan sedang juga akan mengarahkan rakan pelaksana projek ataupun PDP kita serta para kontraktor untuk sentiasa menambah baik pelan pengurusan trafik mereka terutama sekali dalam mereka melaksanakan projek. Ini adalah keutamaan kita Yang Berhormat sentiasa memastikan mereka menambah baik pelan pengurusan trafik. Selain daripada itu kita juga meminta mereka untuk menggiatkan kerja-kerja pembaikan di jajaran sedia ada terutama sekali tampalan pothole dan menurap semula jalan yang rosak, Yang Berhormat. Selain daripada itu, sudah tentu seperti yang saya katakan tadi mereka perlu mengambil serius dan mengambil tindakan segera ke atas sebarang aduan dan juga pertanyaan terutama sekali daripada pengguna jalan raya juga Yang Berhormat. Bukan sahaja daripada PDP dan juga daripada kementerian sendiri pemeriksaan berkala dan penambahbaikan berdasarkan laporan Road and Safety Audit sentiasa dilaksanakan. Seperti yang saya katakan tadi sesi engagement dan kempen keselamatan jalan raya juga kita adakan dan pemantauan berterusan, Yang Berhormat oleh agensi teknikal dan penguatkuasaan untuk memastikan mereka mematuhi prosedur dan garis panduan yang sedia ada. Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua.
7. Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd Harun Narrashid [Kota Tinggi] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan, apakah perancangan dan kerangka kerja strategik kementerian dalam memperkasa guna tenaga tempatan berasaskan kemahiran di kawasan- kawasan pembangunan ekonomi berimpak tinggi seperti di Kota Tinggi.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Negaraku Malaysia. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Kota Tinggi. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Sumber Manusia memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hala tuju negara dari aspek pembangunan dan pengurusan sumber manusia secara strategik. Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek perburuhan dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi melalui pelaksanaan dasar-dasar yang berkaitan. Kementerian Sumber Manusia telah membangunkan Pelan Strategik Kementerian Sumber Manusia 2016-2020 yang menyentuh aspek penggubalan dasar dan penguatkuasaan perburuhan serta pembangunan kemahiran yang menjadi tulang belakang kepada kementerian. Ini juga adalah selaras dengan pembangunan teras strategik yang memfokuskan kepada peningkatan kualiti, produktiviti dan kepuasan pekerja. Terdapat enam teras di bawah Pelan Strategik Kementerian Sumber Manusia 2016- 2020 iaitu: (i) meningkatkan pembangunan modal insan yang relevan, kompeten dan berdaya saing untuk memenuhi keperluan ekonomi negara; (ii) mengutamakan peluang pekerjaan kepada warganegara; (iii) memelihara dan meningkatkan perhubungan perusahaan yang kondusif, matang dan harmoni serta menjamin hak pekerja dan majikan; (iv) mengamalkan budaya kerja, selamat dan sihat yang dinamik; (v) memantapkan jaringan keselamatan sosial yang progresif dan komprehensif kepada seluruh lapisan pekerja; (vi) memantap dan memperkasakan tadbir urus Kementerian Sumber Manusia (KSM). Secara asasnya pelan strategik kementerian adalah secara umum dan tidak memfokuskan kepada program dan kawasan-kawasan tertentu. Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Kota Tinggi ada tiga Parlimen, Pengerang, Kota Tinggi dan Tenggara. Kota Tinggi dalam 10 tahun ini membangun begitu pesat di samping kita ada asas tani, kita ada tourism tetapi yang paling berkembang dan begitu pesat ialah industri minyak dan marin. Kita tahu rapid di sana dan kita mempunyai potensi yang amat besar dan pertumbuhan penduduk yang mendesak. Sudah tentulah kita akan ada pertambahan tenaga mahir yang banyak. Jadi saya hendak tanya, di Johor di bawah Iskandar kita ada Pasir Gudang, kita ada Institut Latihan Perindustrian. Saya difahamkan institut ILP ini sudah maksimum sudah penuh. Jadi itu untuk menangani perkhidmatan general industry dan juga pelabuhan, port. Akan tetapi untuk daerah Kota Tinggi saya ingin mencadangkan kepada kementerian untuk merangka awal mengadakan membina kapasiti kemahiran yang membantu oil and gas, petrochemical dan aeronautic dan juga industri marin termasuk juga pelabuhan yang akan menjadi besar di Kota Tinggi tadi.
Jadi, saya hendak minta Menteri supaya memasukkan dalam perancangan strategi iaitu pembinaan satu ILP berpusat di Kota Tinggi untuk menyediakan tenaga kemahiran dalam menangani keperluan industri-industri yang mendesak ini. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kota Tinggi. Suka saya maklumkan Tuan Yang di-Pertua keadaan negara kita, kita mempunyai 14.19 juta tenaga kerja di negara kita. Pekerja mahir setakat ini kita ada 27.3 peratus bersamaan 3.8 juta, separuh mahir sebanyak 59.7 peratus bersamaan 8.5 juta dan tidak mahir sebanyak 13 peratus bersamaan 1.8 juta pekerja. Kawasan-kawasan ekonomi berimpak tinggi ini kalau ikut penelitian kita Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Kota Tinggi, selain daripada Iskandar Regional Development Authority, Pengerang ini termasuk Kota Tinggi, ada beberapa tempat lain termasuklah East Coast Economic Region (ECER), Greater Kuala Lumpur dan lain-lain termasuklah di Kedah, Perak, Manjung, Aman Jaya, Ampang, Chuping Valley Industrial Area, Perlis Inland Port, Batu Kawan Development, Pulau Pinang dan beberapa tempat yang lain. Ini antara kawasan- kawasan yang dianggap kawasan ekonomi berimpak tinggi. Pendedahan usaha kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja mahir ini. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Kota Tinggi ialah pendedahan latihan kemahiran yang kita buat bermula dari peringkat sekolah, kawasan FELDA bagi belia- belia, program jangka pendek dan industri umpamanya belia KEJORA, kursus steel, structure and welding dan lain-lain kursus yang diberikan kepada belia dan penduduk setempat. Satu lagi usaha yang dibuat oleh kerajaan Tuan Yang di-Pertua ialah penjenamaan semula TVET yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 24 September 2017 yang lepas dengan melibatkan tujuh kementerian utama yang diurus setia utamakan oleh Kementerian Sumber Manusia. Sejumlah RM4.9 bilion telah diperuntukkan di bawah Bajet 2018 di mana beberapa kementerian telah diperuntukkan yang juga besar dan Kementerian Sumber Manusia lebih kurang RM800 juta. Saya kira sebagai kementerian yang menerajui urus setia ini mungkin pihak kerajaan boleh menilai semula supaya peruntukan yang lebih diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia bagi kita meningkatkan usaha-usaha bagi menambahkan bilangan pekerja mahir di negara kita termasuklah di Kota Tinggi. Cadangan Yang Berhormat tadi insya-Allah Tuan Yang di-Pertua, kita akan bawa kepada kerajaan untuk meneliti kesesuaian sama ada ILP boleh dibina di Kota Tinggi ataupun sebaliknya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
8. Tuan Liew Chin Tong [Kluang] minta Menteri Pendidikan menyatakan, tindakan susulan yang diambil oleh pihak kementerian mengenai aduan tiada resit rasmi bagi pembelian buku teks, latihan dan rujukan di SJK(C) seperti dinyatakan dalam surat beliau yang bertarikh 8 Februari 2018 dengan nombor rujukan KLG/1802/002.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kluang atas soalan tentang tindakan susulan Kementerian Pendidikan Malaysia tentang isu tiada resit. Tuan Yang di-Pertua, susulan daripada aduan tiada resit rasmi bagi pembelian buku rujukan. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengarahkan semua sekolah supaya sebarang pembelian kelengkapan sekolah yang dijual sama ada melalui kedai buku atau melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru perlu diberikan resit sebagai bukti bayaran. Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Timbalan Menteri terima kasih. Boleh saya tanya bilangan kes-kes yang dikenal pasti dan berapa orang pentadbir yang telah dipersoal dan juga disiasat? Apa tindakan susulan untuk menyelesaikan aduan-aduan yang saya bentangkan dan juga yang dibentangkan oleh kawan-kawan lain? Adakah Kementerian Pendidikan akan memajukan kes-kes ini kepada pihak berkenaan seperti LHDN dan pihak-pihak lain? Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kluang. Yang Berhormat, apabila kes-kes itu diberi kepada kita, kita akan buat siasatan. Contoh kes yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat dalam persidangan Parlimen, kita telah melakukan siasatan. Siasatan yang kita lakukan itu terdapat apa Yang Berhormat beritahu itu ada asas. Apabila ada asas Yang Berhormat, kita Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan telah mengambil tindakan untuk memberi amaran kepada pengurusan sekolah supaya tidak melakukan perkara itu sama sekali. Sekiranya selepas arahan itu diberi dan perkara itu berlaku lagi, maka kita akan menghantar buat satu lagi surat tunjuk sebab kerana dia telah melanggar tatacara kewangan Jabatan Pendidikan Negeri dan KPM, ini kita akan lakukan. Jumlah kes ini tidak ada pada saya tetapi sekiranya ada laporan, kita akan membuat siasatan. Ada di antara laporan yang diberi ada asas seperti mana yang dilaporkan oleh Yang Berhormat Kluang. Ada yang laporan yang tidak berasas. Walau bagaimanapun, di Kementerian Pendidikan Malaysia, kita akan sentiasa mengambil tindakan-tindakan terhadap laporan-laporan yang berasas. Untuk makluman Yang Berhormat juga, untuk memastikan sumbangan-sumbangan yang diberi ini juga diambil kira kita telah mewujudkan tiga jenis akaun utama. Tiga jenis akaun utama diwujudkan di sekolah iaitu pertama Kumpulan Wang Kerajaan. Kumpulan Wang Kerajaan ini ialah untuk merekodkan semua sumbangan daripada kerajaan. Kedua, Kumpulan Wang SUWA bagi merekod semua terimaan daripada sumbangan wang awam dan Kumpulan Wang Asrama bagi yang berkenaan, kepada sekolah-sekolah asrama. Selain daripada itu mengikut peruntukan peraturan sedia ada, terimaan yuran kelas tuisyen tidak perlu diakaunkan ke dalam mana-mana akaun sekolah kerana kerajaan telah memansuhkan yuran persekolahan rendah dan menengah bermula sesi persekolahan tahun 2012, selepas Yang Amat Berhormat Pekan mengambil alih. Kutipan tersebut hendaklah diakaunkan dalam akaun selain daripada tiga akaun diwujudkan di sekolah seperti akaun PIBG dan sebagainya. Resit rasmi hendaklah dikeluarkan sebagai bukti pembayaran. Ini telah kita laksanakan dan sekiranya ada lagi masalah kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
9. Dato' Haji Ahmad Nazlan bin Idris [Jerantut] minta Perdana Menteri menyatakan, langkah Kerajaan dalam memacu perubahan minda serta pembangunan ekonomi generasi baru peneroka FELDA melalui Inisiatif FELDA 2.0.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Maaf saya tidak dapat berpantun bagi pihak sebab saya jawab pun bagi pihak. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat aspirasi Pelan Transformasi Rancangan FELDA 2.0 adalah kesinambungan hala tuju FELDA dalam membangun dan memperkasa generasi baru setelah FELDA mencapai matlamat penubuhan 50 tahun pertama. Kewujudan FELDA antara lain bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi bandar dan luar bandar seperti yang digagaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Justeru FELDA 2.0 dilihat akan dapat memberikan nafas baru kepada rancangan FELDA sedia ada bagi mewujudkan ekonomi baru dan infrastructure yang moden. Supaya dapat menarik golongan muda untuk tinggal di rancangan melalui gaya hidup setanding kawasan bandar. Objektif utama Transformasi FELDA 2.0 ini adalah untuk melahirkan komuniti FELDA yang pintar dan lestari. Dengan tema terbuka dan terhubung FELDA Lurah Bilut telah dipilih sebagai perintis kepada Pelan Transformasi FELDA 2.0 ini dan pelaksanaannya sedang giat dijalankan di mana ia telah memasuki fasa kedua. Setelah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 4 Februari 2018 yang lalu dengan peruntukan sebanyak RM10 juta, pelaksanaan program ini telah mendapat reaksi positif daripada banyak pihak. Bukan hanya penduduk tempatan tetapi juga warga FELDA seluruh negara selain mendapat perhatian daripada banyak agensi awam dan swasta untuk melaksanakan kerjasama strategik menerusi program ini. Sukacita dimaklumkan sehingga tempoh pelancaran, FELDA telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan surat niat dengan 14 agensi dan syarikat yang disebut sebagai rakan muafakat FELDA 2.0 dengan nilai pelaburan berjumlah RM8.8 juta. Pelaksanaan fasa satu FELDA 2.0 ini melibatkan lima rancangan bagi tahun 2018 ini dengan peruntukan secara matching grant daripada kerajaan sebanyak RM50 juta atau RM10 juta bagi setiap rancangan. Pelaksanaan FELDA 2.0 akan memberikan impak berikut kepada warga FELDA:
(i) menjana sumber kewangan kepada rancangan melalui inisiatif solar farm dengan kuota feed in tariff sebanyak 5 megawatt bagi setiap rancangan yang boleh memberi peluang pendapatan sebanyak RM2 juta setahun kepada program pembangunan komuniti setempat; (ii) mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus generasi baru di kawasan rancangan; (iii) menyediakan peluang ekonomi baru kepada warga FELDA dalam sektor seperti keusahawanan digital, agropelancongan, sukan, teknologi hijau dan pertanian; (iv) menjadikan infrastruktur rancangan sedia ada lebih moden, selesa dan mesra kepada generasi muda; dan (v) menjadikan rancangan lebih terbuka dan terhubung dengan masyarakat luar. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri kerana menjawab bagi pihak FELDA. Saya amat yakin kerana mungkin kawasan Yang Berhormat Menteri banyak kawasan FELDA, dia boleh memahami. Cuma persoalan saya ingin bertanya sedikit kalau Yang Berhormat Menteri tidak dapat jawab hari ini pun tidak apa, beri jawapan bertulis.
Apakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh FELDA khususnya dalam memastikan anak-anak FELDA generasi kedua ini sentiasa diberikan keutamaan dalam membangunkan pelbagai industri yang ada berkaitan dengan FELDA termasuklah mungkin kerja-kerja kontrak dan bekalan dan juga membantu usahawan-usahawan anak-anak FELDA ini supaya lebih menyediakan peluang pekerjaan kepada rakan-rakan mereka. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat, saya akan beri jawapan secara bertulis bagi pihak FELDA dan kawasan FELDA Parlimen Pengerang hanya 70 peratus sahaja. Terima kasih.
10. Tuan Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh [Bukit Gelugor] minta Menteri Pendidikan menyatakan, sama ada tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden di SMK Tuanku Abdul Rahman yang mengakibatkan kematian seorang pelajar yang bernama Nur Afini Roslan. Nyatakan langkah-langkah yang dicadangkan untuk mengelakkan kejadian yang sama berlaku di masa depan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Bukit Gelugor atas soalan mengenai tanggungjawab KPM terhadap insiden SMK Tuanku Abdul Rahman. Tuan Yang di-Pertua, kes kematian murid perempuan dan dua orang lelaki yang cedera akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan pada 13 Februari 2018 diklasifikasikan sebagai kes polis dan masih lagi dalam proses siasatan. Kementerian Pendidikan Malaysia dimaklumkan bahawa pihak polis telah merujuk kes ini kepada pihak pendakwa raya manakala Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) sedang melakukan siasatan dari aspek peranan majikan iaitu pengetua sekolah dan juga pihak kontraktor. Selain itu, Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan telah ditubuhkan pada 14 Februari 2018 bagi membuat siasatan terperinci berkenaan kes tersebut. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/2002 iaitu pelaksanaan Program Sekolah Selamat yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran sekolah agar warga sesebuah sekolah itu merasa selamat untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta menjalankan kegiatan kokurikulum tanpa gangguan dari mana-mana pihak sama ada dari luar mahupun dari dalam. Pada sepanjang masa, setiap warga sekolah mestilah mempunyai kesedaran tinggi tentang keselamatan dan diterjemahkan melalui sikap dan tingkah laku sensitif, prihatin dan tanggungjawab profesional untuk menjamin suasana pembelajaran dapat berjalan dengan baik. Semua sekolah diperingatkan agar mematuhi standard prosedur operasi Kementerian Pendidikan Malaysia yang sedia ada dalam menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi mengelakkan kemalangan seperti itu berulang. Murid juga sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa oleh pihak sekolah untuk menitikberatkan isu keselamatan diri semasa berada di dalam mahupun di luar sekolah melalui ucapan di perhimpunan dan kempen kesedaran yang dilakukan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua, saya pohon untuk tanya soalan tambahan berkenaan soalan saya tersebut. Kami tahu bahawa ini adalah satu insiden yang telah berlaku during school hours.
Persoalan yang timbul adalah apakah ataupun kenapakah aktiviti seperti pembersihan school field tersebut berlaku ataupun dibuat pada masa di mana terdapat risiko yang tinggi bahawa kemalangan yang amat mengerikan seperti yang telah pun berlaku di sini untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku. Memandangkan ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, adakah Kementerian Pendidikan akan mengambil langkah-langkah untuk memberi pampasan kepada keluarga si mangsa agar ini merupakan satu teladan dan perkara seperti ini tidak akan berlaku di masa depan. Sekian terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Bukit Gelugor. Yang Berhormat, sebenarnya dalam standard operating procedure dan juga kontrak yang diberi kepada pengusaha-pengusaha ataupun majikan tersebut, kita telah pun nyatakan bahawa kerja-kerja tidak boleh dilakukan semasa ada aktiviti. Jelas bukan sahaja kepada kontraktor ini malah semua kontraktor di semua sekolah yang telah menerima kerja ini secara jelas dan jernih kita telah maklumkan kepada mereka tidak boleh melakukan apa jua kerja dalam sekolah apabila murid-murid sedang berada dalam sekolah, memang salah. Kita telah pun mengambil tindakan terhadap- walau bagaimanapun memandangkan isu ini masih dalam siasatan polis, siasatan awal kita telah pun memberi amaran kepada pengetua sekolah dan kita masih menunggu the outcome, dengan izin, siasatan dan juga laporan polis dan juga tindakan yang akan diambil oleh pendakwa raya. Pada masa yang sama Yang Berhormat Bukit Gelugor, kita juga telah memberi aspek kebajikan anak murid tersebut melalui insurans Takaful, kita telah pun memberi sumbangan sebanyak RM5,500 kepada keluarga tersebut dan kita masih bersama menghubungi keluarga tersebut untuk mendapat dan juga memberi bantuan-bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa. Terima kasih Yang Berhormat dan terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
11. Tan Sri Dr. Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah [Mukah] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan, berapakah jumlah kerugian subsidi tong gas petroleum cecair (LPG) mengikut negeri yang direkodkan oleh kementerian akibat daripada sindiket penyelewengan bagi tempoh 2015 hingga akhir 2017 dan apakah tindakan penguatkuasaan holistik yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Mukah. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha untuk mencegah ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi. Bagi tempoh 2015 hingga Disember 2017, sebanyak 683 sindiket penyelewengan LPG bersubsidi telah berjaya dipatahkan dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM11.9 juta. Kesemua mereka yang terlibat berhadapan dengan hukuman denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. Selain hukuman denda, tindakan penggantungan dan pembatalan lesen turut dikenakan ke atas mana-mana pihak yang bersekongkol atau terlibat secara langsung dalam kegiatan tidak bertanggungjawab ini. Bagi membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini, tindakan penguatkuasaan yang holistik telah dilaksanakan di bawah operasi khas yang diberi nama OPS Gasak 2. Di bawah operasi khas ini, semua tenaga agensi-agensi penguatkuasaan telah digembleng secara Strategi Lautan Biru (N-BOS) untuk memerangi sindiket penyelewengan LPG. Di antara agensi penguatkuasaan yang terlibat adalah Polis Diraja Malaysia, pasukan polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan juga Agensi Kawalan Sempadan Malaysia. Selain itu, KPDNKK turut menjalankan kerjasama penguatkuasaan bersama pasukan NRRET- National Revenue Recovery Enforcement Team yang berada di bawah koordinasi Jabatan Peguam Negara.
Selain daripada itu, dalam usaha untuk mengadakan usaha-usaha penguatkuasaan, pada tahun 2018 penguatkuasaan akan turut ditumpukan kepada sektor industri bagi memastikan tiada penggunaan LPG bersubsidi dan juga bagi memastikan bekalan LPG yang mereka terima sama ada dalam bentuk silinder, komersial ataupun bullet tank adalah daripada sumber-sumber yang sah. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri dengan jawapan tadi. Soalan tambahan saya ialah sejauh mana peranan agensi-agensi penguatkuasaan yang menjalinkan kerjasama strategik dengan kementerian dan juga penguat kuasa di sempadan dan juga perairan negara? Dengan implikasi bahawa kerjasama ini penting bahawa ini adalah satu tempat tumpuan subsidi kita kepada luar bandar dari segi memberi kesejahteraan hidup harian rakyat kita. Jadi bagi saya ini penting untuk kita menjangkakan supaya ini tidak akan merugikan kerajaan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua kerjasama antara kementerian bersama-sama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Kastam dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia melibatkan penguatkuasaan di sempadan, darat dan juga di perairan negara. Pihak-pihak berkenaan dilibatkan dalam pemeriksaan secara bersama dan juga perkongsian maklumat. Di samping itu melalui kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan juga, KPDNKK sentiasa memperkukuhkan hubungan bersama agensi-agensi penguatkuasaan tersebut dengan mengadakan sesi taklimat perundangan KPDNKK serta pemahaman mengenai garis panduan SOP berkaitan serahan kes serta mengadakan mesyuarat secara berkala. Kerjasama yang melibatkan agensi-agensi tersebut telah membantu kementerian dalam usaha untuk menyekat aktiviti ketirisan barang kawalan. Hasil kerjasama ini sebanyak 155 tindakan kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM4.4 juta dari bulan Januari 2017 sehingga Februari 2018. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat. Pertanyaan- pertanyaan bagi jawapan lisan berakhir. [Masa untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Usul — Waktu Mesyuarat Dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan MesyuaratMotion
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. “Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya memohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai Usul Menteri Kewangan di nombor 1 dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang tidak ditetapkan.”
Ya, yang menyokong?
Saya menyokong Tuan Yang di-Pertua.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Tuan Yang di-Pertua, point of order.
Sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas kebenaran untuk raise the point of order oleh saya. Tuan Yang di-Pertua, hari ini 5 April 2018 adalah hari terakhir Persidangan Parlimen bukan sahaja penggal ini tetapi Parlimen Ke-13. Rekod Parlimen menunjukkan bahawa pada tarikh 6 April 2017, exactly one year ago, Dewan yang mulia ini telah membenarkan satu usul yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Marang dinaikkan untuk dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini. Saya mempunyai Hansard Parlimen bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima bertarikh 6 April 2017 yang tercatat bermula mula surat 36 sehingga 85 di dalam Hansard pada hari tersebut. Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana yang kita maklum bahawa usul berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat 49(1), apabila sesuatu usul yang dibawa oleh ahli bukan kerajaan telah dibenarkan untuk dinaikkan oleh pihak kerajaan, maka pembawa usul tersebut dibenarkan untuk membentangkan usulnya. Jadi inilah yang berlaku di dalam usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Marang yang pada hari, for record purposes telah dicatatkan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul di nombor yang kedua iaitu selepas Usul daripada Menteri Kewangan. Persoalan yang ingin saya bangkitkan pada hari ini Tuan Yang di-Pertua ialah, saya ingin mendapat satu petua, satu ruling daripada Tuan Yang di-Pertua, berhubung dengan usul yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Marang pada 6 April 2017 dan disokong oleh saya sendiri iaitu usul untuk mencadangkan suatu pindaan terhadap Akta 355 yang telah dibenarkan. Saya ada tiga persoalan untuk mendapat petua daripada Tuan Yang di-Pertua. Pertama, dari sudut prosedurnya. Dari sudut prosedurnya selepas usul Private Member’s Bill ini dinaikkan dan telah dibentangkan dan telah disokong oleh seorang ahli, sekarang ini prosedur seterusnya ialah dibuka perbahasan kepada semua Ahli Dewan, sepatutnya begitu. Apa yang saya ingin tahu daripada Tuan Yang di-Pertua ialah kebenaran atau budi bicara membenarkan perbahasan dibenarkan ini pada hemat saya adalah terletak kepada Tuan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi Parlimen, bukannya pembawa usul. Ini kerana di luar sana, dihebohkan Yang Berhormat Marang telah gagal membenarkan perbahasan dibenarkan. Sebenarnya bukan budi bicara Yang Berhormat Marang tetapi sebenarnya budi bicara Tuan Yang di-Pertua sendiri. Jadi, itu petua pertama yang saya mohon. Keduanya, amalan di dalam Persidangan Parlimen Tuan Yang di-Pertua ialah, selepas semua urusan kerajaan dibereskan, diselesaikan, maka bolehlah usul-usul lain yang dikemukakan oleh mana-mana Ahli Parlimen sama ada Private Member’s Bill dan sebagainya sebagaimana yang disenaraikan di dalam Order Paper atau Aturan Urusan Mesyuarat. Sepatutnya Tuan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi Majlis ataupun Speaker membenarkan Usul yang telah separuh didengar, partly table, partly heard. Kalau dalam mahkamah, kes separuh dengar. Dalam ini saya anggap sebagai Usul yang separuh dibentangkan, sepatutnya diberikan keutamaan untuk dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini sebagai continuation atau sambungan kepada Usul yang telah dinaikkan itu. Jadi dalam hal ini pun saya hendak dapat petua daripada Tuan Yang di-Pertua. Ketiga, yang terakhir ialah jika sekiranya ruling yang dibuat oleh Tuan Yang di- Pertua nanti adalah tidak akan dibenarkan perbahasan pada hari ini, apatah lagi Usul telah dibuat oleh Menteri bahawa selepas Usul Menteri Kewangan akan dibentangkan, Dewan ini akan ditangguhkan. Persoalan ingin saya tahu ialah, sama ada Usul yang telah separuh didengar atau dibentangkan atau dibahaskan di dalam Parlimen, pada Parlimen Ketiga Belas ini akan dibawa, disambung ke dalam Parlimen Ke-14 selepas PRU-14 akan datang ini? Saya mohon benar-benar mendapat petua supaya menghilangkan segala kekeliruan sama ada di dalam Dewan ini mahupun di luar sana. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih. Ada tiga perkara yang dibangkitkan di situ. Pertama Yang Berhormat, apa pun tindakan saya dalam Dewan pada bila-bila masa saya terikat dengan peraturan mesyuarat. Sesimple-simple umpamanya application of discretionary matters mengenai dengan soalan tambahan ataupun perkara-perkara melanggar peraturan mesyuarat tetapi kadang-kadang saya biarkan sahaja supaya perbahasan itu tidak terganggu.
Dalam soal yang dibangkitkan ini, saya masih terikat dengan Peraturan Mesyuarat 15(1) iaitu Urusan Kerajaan. Saya masih juga terikat didahulukan dan saya masih juga terikat dengan Peraturan Mesyuarat 12(1). Tadi 15(1), ini 12(1) iaitu kerajaan sendiri yang menentukan apabila urusan-urusan kerajaan tidak selesai, kerajaan juga mengatakan seperti Usul dibacakan oleh Yang Berhormat Menteri bahawa selepas dibincang selesai Usul Menteri Kewangan yang nombor 1 itu, maka selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(1), bahawa Usul kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan dan kepentingan. Itu kerajaan punya hak untuk menentukan. Seperti Yang Berhormat sebut tadi bahawa di persidangan yang sudah, Usul Rang Undang-undang 355 oleh Yang Berhormat Marang itu telah dinaikkan pada ketika itu kerana itu juga adalah kehendak kerajaan kerana saya tidak dikawal pada ketika itu, tidak terkekang oleh Peraturan 15(1) dan saya ada surat pada ketika itu yang diberi kepada saya. Itu sebab saya menggunakan kuasa saya pada ketika itu sehingga saya mengeluarkan hujah. Hujah saya pada ketika itu mendapat liputan bahawa seolah-olah at that time saya teruja oleh sebab pertama kali I can exercise my own power. Saya kata, if you are in power, you are powerful, you don’t use your power, you are bloody fool...
[Dewan ketawa]
You remember that? See, kerana pada ketika itu saya tidak ada kekangan 15(1). Dalam hal ini, walaupun pada ketika itu Usul telah dibacakan dan Usul sudah juga disokong, saya kata itu saya punya ruling sendiri. Jadi pada ketika itu, saya berkuasa, full kuasa. Saya kata dia akan dibincangkan pada persidangan akan datang. Okay, that is as far as it goes because saya masih lagi- selepas sahaja itu, saya masih lagi dikekang oleh 15(1). Jadi apabila Usul dibaca oleh Yang Berhormat Menteri tadi di bawah 12(1), maka itulah ketetapan bahawa Usul telah dibaca, Usul telah disokong, tinggal lagi datang masa dia nanti dalam persidangan Parlimen yang akan datang, Parlimen Keempat Belas misal kata, kalau datang senario ataupun situasi seperti yang dahulu, yang rang undang-undang itu dibawa dapat diberi naik, itu kita akan tunggu Yang Berhormat bersama. Di dalam hal ini, bagi saya Rang Undang-undang 355 telah pun dapat dibentangkan, telah pun disokong, tinggal dibahas sahaja dan mengambil keputusan. Yang Berhormat Marang telah pun buat tanggungjawab beliau sebaik mungkin mengikut prosedur yang kita benarkan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, sedikit tambahan sahaja. Saya faham apa yang telah Tuan Yang di-Pertua sebutkan tadi. Soalan saya yang terakhir, saya bukan sahaja terhad kepada isu Yang Berhormat Marang yang dilistkan sebagai yang kedua, kita ada banyak usul-usul daripada Ahli-ahli Dewan, 33 usul ini. Soalannya simple sahaja. Adakah kesemua 32 usul ini ditolak usul Kementerian Kewangan ini akan dilistkan kembali semasa persidangan pertama di Penggal Keempat Belas? Itu soalan saya. Bukan sahaja Yang Berhormat Marang, yang lain-lain pun adakah akan dilistkan semua di dalam Order Paper? Terima kasih...
[Dewan riuh]
Parlimen baharu Yang Berhormat.
Parlimen baharu, kerajaan baharu.
Parlimen baharu Yang Berhormat. Saya tidak tahu siapa yang duduk sebelah kanan, siapa duduk sebelah kiri. Jadi... [Ketawa]
Terbaiklah Tuan Yang di-Pertua. Terbaik.
Kalau saya buat ruling terhadap itu, ruling saya pun irrelevant sudah. Yang Berhormat Ipoh Barat ketawa.
Usul Menteri Kewangan — Akta Tatacara Kewangan 1957Motion
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... [Berucap dalam bahasa Arab] Salam sejahtera, salam Negaraku Malaysia.
“Bahawa Dewan ini, mengikut peruntukan di bawah seksyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957, membuat ketetapan bersetuju supaya Jadual Kedua Akta tersebut dipinda dengan menambah kepadanya butiran baru seperti berikut:- “Tabung Khas Hakmilik Strata” Tuan Yang di-Pertua, mengikut peruntukan seksyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957, Dewan Rakyat boleh dari semasa ke semasa dengan satu ketetapan meminda, memotong atau menambah kepada Jadual Kedua tersebut. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2018 telah menimbangkan memorandum daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar No.M68/2018 dan bersetuju supaya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menubuhkan Tabung Khas Hakmilik Strata bagi menerima peruntukan kerajaan, sumbangan dari mana-mana pihak sama ada perseorangan, swasta, institusi- institusi atau mana-mana entiti dari dalam dan luar negara bagi tujuan menyelesaikan isu permohonan hak milik strata bangunan khas di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Penubuhan Tabung Khas Hakmilik Strata ini akan membolehkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyediakan dana untuk membiayai kos penyelesaian permohonan hak milik strata bagi bangunan-bangunan yang telah diklasifikasikan sebagai bangunan khas di bawah Akta Hakmilik Strata 1985. Bangunan-bangunan lama yang masih tidak mempunyai hak milik strata adalah dikategorikan sebagai bangunan khas. Merujuk kepada seksyen 4, Akta 318, “bangunan khas” bermaksud mana-mana bangunan yang diduduki sebelum Jun 1996 atau mana-mana bangunan yang diduduki antara Jun 1996 hingga 11 April 2007, yang diklasifikasikan sedemikian oleh pihak berkuasa negeri. Melalui dana permulaan yang disediakan oleh kerajaan sebanyak RM12.8 juta, ini adalah berhasrat untuk menyelesaikan terlebih dahulu sejumlah 136 skim bangunan khas yang melibatkan 25,761 petak yang mempunyai masalah hak milik strata. Maklumat tersebut adalah seperti yang diperoleh melalui pentadbiran tanah negeri sehingga Ogos 2017. Tujuan Tabung Khas Hakmilik Strata ini adalah seperti berikut: (i) bayaran deposit dan upah profesional serta kos-kos berkaitan seperti juruukur tanah berlesen, arkitek profesional, jurutera profesional, peguam, pelikuidasi dan sebagainya; (ii) fi-fi berkaitan yang perlu dibayar kepada jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Jabatan Insolvensi Malaysia dan sebagainya;
(iii) hasil tanah atau tunggakan hasil tanah seperti cukai tanah dan premium yang timbul bagi menyelesaikan permohonan hakmilik strata berkaitan; (iv) membiayai kos bagi menyelesaikan isu-isu tanah dan isu-isu bangunan yang boleh menghalang kelulusan permohonan hakmilik strata selaras dengan syarat-syarat kelulusan permohonan hakmilik strata; (v) membiayai kos pindah milik hakmilik strata seperti fi peguam, duit setem, fi PTG dan sebagainya; (vi) membiayai kos operasi penganjuran mesyuarat jawatankuasa kumpulan wang ini serta lain-lain jawatankuasa yang ditubuhkan bagi melancarkan pelaksanaan kumpulan wang ini; (vii) membiayai kos perundingan dan libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan, lawatan tapak, hebahan dan promosi yang boleh dikaitkan dengan pentadbiran kumpulan wang ini; (viii) projek dan aktiviti bagi menyelesaikan permohonan dan pendaftaran hakmilik strata bangunan khas; (ix) geran kepada pihak-pihak dipertanggungjawabkan atau dilantik untuk menyelesaikan permohonan hakmilik strata berkaitan seperti PTG, pelikuidasi, badan pengurusan bersama dan sebagainya; dan (x) membuat pelaburan dalam simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia. Tabung Khas Hakmilik Strata ini akan dikreditkan daripada sumber-sumber berikut: (i) peruntukan awalan sebanyak RM12,785,497 yang akan diperuntukkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; (ii) wang yang diperuntukkan oleh Parlimen dari semasa ke semasa bagi maksud kumpulan wang ini; (iii) sumbangan daripada bajet Persekutuan dan negeri; (iv) sumbangan daripada mana-mana pihak sama ada perseorangan, swasta, institusi atau mana-mana entiti dari dalam dan luar negara; dan (v) faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang diuruskan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
Tabung Khas Hak Milik Strata ini akan ditadbirkan oleh satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan 12 orang ahli jawatankuasa terdiri daripada wakil kementerian, jabatan dan lembaga yang berkaitan. Tuan Yang di-Pertua, penubuhan tabung ini membuktikan komitmen dan keikhlasan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat yang lama. Melalui dana yang disediakan oleh tabung ini, kos permohonan hak milik strata tertunggak kategori bangunan khas yang sepatutnya tidak menjadi bebanan kepada pemilik-pemilik petak tersebut boleh ditanggung sebahagian atau sepenuhnya oleh tabung ini. Malahan penyelesaian pendaftaran hak milik strata bagi bangunan khas tersebut dapat menyelesaikan pelbagai isu lain seperti isu pengurusan strata di mana perbadanan pengurusan dapat ditubuhkan di bawah Akta Hak Milik Strata 1985 setelah Buku Daftar Strata dibuka.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Jadual Kedua, Akta Tatacara Baru Kewangan 1957 dipinda dengan menambah kepadanya butiran baharu iaitu Tabung Khas Hak Milik Strata. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Ada yang menyokong?
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong.
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah sekarang ini terbuka untuk dibahas...
[Dewan riuh]
[Bangun]
Seorang 30 minit?
Sila, yang sebelah Yang Berhormat Kapar. Sila, sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Tumpat, ya, Yang Berhormat Tumpat.
Terima kasih kerana telah memberi peluang kepada saya Tuan Yang di-Pertua, untuk bersama-sama dengan rakan-rakan di kedua-dua pihak ini merayakan saat-saat terakhir kita dalam Dewan yang mulia ini.
Tidak ada panjang lebar Yang Berhormat. Kalau boleh, lima minit seorang.
Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana kita dimaklumkan, di bawah seksyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957 ini dicadangkan perwujudan dana yang dipanggil Tabung Khas Hak Milik Strata. Tuan Yang di-Pertua, sebagai seorang Ahli Parlimen yang serius, saya membuat kajian dan saya mendapati bahawa ada lebih kurang 33 dana-dana akaun-akaun di bawah schedule ataupun Jadual Kedua ini. Di dalam Jadual ini, tabung-tabungnya seperti Association of South East Asia Fund, Conveyance Advance Fund, Cooperative Credit Fund, Development Fund, Housing Loan Fund, Industrial Technical Assistance for Small Medium Industries Fund membawalah kepada Inter Administration Current Account dan membawa Overseas Malaysian Trust Fund, Pension Trust Fund, Royal Loan Trust Fund, Sinking Fund Account, Social Welfare Services Trust Fund, Buffer-stock Contributors Advance dan akhir sekali dalam senarai Jadual ini, Unallocated Store and Work Account. Jadi, jumlahnya saya kira lebih kurang 33. Soalan yang saya nak kemukakan ialah adakah kesemua 33 dana ini aktif dan kalau boleh diberikan secara bertulis, jumlah-jumlah amaun wang yang tersimpan dalam dana-dana ini dan kalau boleh jumlah keseluruhan dana- dana yang ada ini. Ini persoalan saya. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi peluang untuk saya bercakap.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berada di ambang-ambang terakhir PRU13, saya juga mengucapkan ribuan terima kasih untuk membahaskan Akta Tatacara Kewangan 1957 yang kita sedang masukkan satu Tabung Khas Hak Milik Strata. Soalan saya ringkas kepada dua bahagian. Yang pertama adalah, berapakah dana yang akan diperuntukkan untuk tabung ini sebab kita nampak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah membuat permintaan ini. Sepatutnya mereka telah membuat satu kajian. Mereka sepatutnya mempunyai satu anggaran untuk menyelaraskan tabung ini sebab permintaan untuk bajet akan dilakukan selepas kewujudan tabung ini. Itu yang pertama.
Yang kedua adalah, bila kerajaan salurkan dana kepada tabung ini, apakah bentuk kewangan atau bentuk kewangan yang akan disalurkan. Adakah ia berbentuk geran dan sebagainya. Apakah tatacara yang akan diguna pakai untuk kewangan disalurkan ke tabung ini.
Yang Berhormat Kapar, Kuala Krai minta penjelasan sikit.
Ya, silakan.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Untuk makluman Yang Berhormat Tenggara jugalah, kita dah nak habis sesi ini. Jadi, kalau boleh kita habis pukul 1, lah. Jangan awal sangat ya. Saya ingin mendapat penjelasan, kalaulah Yang Berhormat Kapar ada maklumat sama ada semua dana 33 yang disebut oleh Yang Berhormat Tumpat tadi ini, mereka ini mempunyai satu jumlah tertentu yang apabila susut, akan mendapat injection atau tambahan automatik daripada Kementerian Kewangan. Adakah laporan penggunaan di dalam dana ini dikemukakan di dalam Dewan ini melalui bajet. Mungkin ada, saya tidak perasan. Saya minta penjelasan daripada Yang Berhormat Kapar, boleh sampaikan kepada Menteri. Terima kasih.
Saya meminta ucapan Yang Berhormat Kuala Krai dimasukkan ke dalam ucapan saya dan dijawab oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri. Jadi, saya minta dua soalan tadi sebab itu adalah bahagian yang penting sebab ini bukan benda baru. Ada permintaan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, maka satu perancangan telah pun dirancang oleh Kementerian Kewangan. Akan tetapi dalam penerangan dan penjelasan Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, bahagian tentang berapa banyak dana dan sebagainya tidak diselaraskan. Mungkin ada pandangan ataupun penjelasan tersendiri yang Yang Berhormat Timbalan Menteri perlu jelaskan. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat kerana memberi peluang untuk kita semua bahas. All the best to all of you. Thank you.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua beri peluang sedikit bercakap. Saya nak ucapkan terima kasih kerana sefaham saya, tabung yang nak diwujudkan ini amat baik sebab saya difahamkan banyak bangunan yang lama, ada yang 30 tahun, 40 tahun yang ada masalah strata yang tak dapat diselesaikan disebabkan oleh masalahnya siapa nak bayar bila kita buat lantik konsultan dan kita nak melantik konsultan sebab nak ukur semula. Saya difahamkan salah satu sebab ialah ada lot-lot bangunan itu terbina atas dua lot yang tak sepatutnya. Ada juga syarat-syarat yang belum ditukar syarat kepada yang sepatutnya, ada juga lot bangunan itu terkeluar daripada lot-lot yang sepatutnya diadakan. Masalah ini berlanjutan mungkin lama, 20 tahun ke 30 tahun. Jadi dengan adanya satu dana atau tabungan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, ini amat baik kerana ramai antara mereka ada yang telah meninggal dunia, ada juga masalah untuk tukar milik dan sebagainya dan saya difahamkan jumlahnya besar. Jadi saya nak minta kementerian beritahu berapa ramai yang terbabit dengan ini dan kalau ini dapat dibuat dengan segera, berapa lama boleh buat dan kalau ini boleh buat, ia dapat membantu begitu ramai pemilik-pemilik strata yang selama ini mereka tergantung sebab tak dapat nak selesaikan masalah. Strata title tak keluar, jadi dengan mereka dah bayar sebahagian kepada kos-kos ini. Saya difahamkan masalah ini terbeban lebih kepada mereka-mereka yang memiliki strata rumah-rumah yang berkos murah, kos rendah.
Jadi kalau kita dapat gerakkan ini cepat, kita dapat bantu rakyat, ini amatlah baik kerana mereka telah tertanggung lama, 20 tahun ke 30 tahun. Di samping itu, dengan adanya tabung ini atau usaha-usaha yang baik daripada kerajaan ini, kita dapat membantu mereka yang selama ini menabung melalui pemilikan harta yang dianggap sebagai pelaburan merealisasikan pelaburan mereka yang bertahun-tahun ini dan dapat menyelesaikan masalah banyak bangunan lama sama ada tak dapat dimajukan atau tak dapat dikenal pasti pemilik-pemiliknya dan ini akan menyebabkan pembangunan kawasan itu terbantut dan merendahkan lagi nilai tanah bangunan-bangunan di sekelilingnya. Jadi saya ingat dengan satu stroke of pen, dengan satu usaha yang baik daripada kementerian akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang tertangguh. Dengan ini kita dapat membantu rakyat merealisasikan balik harta pelaburan mereka selama berpuluh tahun dan dapat membantu membangunkan kawasan-kawasan tertentu yang selama ini tidak dapat dibangunkan atas sebab-sebab masalah tanah, masalah title, masalah strata title. Saya juga nak tanya kerajaan, berapa jumlah dan kalau jumlah ini, berapa peratus daripada keseluruhan jumlah strata title dalam negara. Saya difahamkan beberapa negeri tidak submit dia punya keperluan-keperluan strata title termasuk saya difahamkan Kelantan dengan Selangor.
Saya pun pelik kenapa ini tidak berlaku sebab banyak kawasan strata title ini di kawasan Selangor, di kawasan Lembah Klang. Jadi, ada juga saudara mara saya terbeban juga dengan masalah-masalah ini. Jadi, saya minta kementerian untuk bagi satu penjelasan dan kalau boleh kita hendak masalah strata title ini diselesaikan dengan segera supaya rakyat dapat manfaatnya. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada rakan-rakan yang sempat bangun untuk bertanyakan meminta pencerahan. Pertama, daripada Yang Berhormat Tumpat. Beliau telah menyatakan bahawa sebelum ini memang ada lebih kurang 33 pelbagai jenis tabung di bawah Jadual Kedua ini. Memanglah kita tahu- terima kasih Yang Berhormat Tumpat kerana amat teliti. Apakah status kedudukan tabung-tabung ini? Apakah masih aktif dan sebagainya. Untuk makluman Dewan, tabung-tabung ini dimanage atau diuruskan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan sudah tentulah mereka perlu melaporkan kedudukan terkini contohnya status pada setiap hujung tahun, 31 Disember setiap tahun. Cuma detil Yang Berhormat, saya tidak boleh bagi hari ini. Kalau Yang Berhormat perlu dan saya boleh bagi secara bertulis. Itu yang pertama. Kedua, dari sahabat saya Yang Berhormat Kapar. Yang Berhormat Kapar ini ada bertanya dana awal peruntukan ini. Sebenarnya kita menggerakkan. Ia isu yang berlaku ini kerana pertama adalah berkaitan dengan hal-hal tanah. Status tanah ini ada yang pecah sempadan, ada yang langgar syarat, ada yang masuk gadaian dan sebagainya. Kemudian hal yang berkaitan dengan pemaju. Pemaju ini ada yang telah tutup kedai atau digulung businessnya, ada yang meninggal, ada yang hilang tidak dapat dikesan, ada masalah kewangan dan sebagainya. Ketiga, adalah masalah pemilik. Pemilik ini pula ada yang masalah legasi, ada yang daripada datuk nenek dan sebagainya. Sehinggalah akhir sekali isu pemilikan strata title itu tidak selesai. Jadi untuk permulaan ini, di bawah kementerian. Kementerian telah membuat satu memo kepada Kabinet untuk hendak selesaikan dahulu peringkat awal ini 25,000 petak daripada negeri-negeri yang telah pun kita dapatkan data sehingga 30 Ogos. Ini termasuk juga menjawab kepada sahabat saya Yang Berhormat Kota Tinggi. Negeri-negeri yang masuk ini di Semenanjung Malaysia ini semua sudah bagi laporan kecuali Selangor dan Kelantan. Sebab musabab itu saya tidak berapa tahu. Akan tetapi yang penting sehingga kini telah dapat 136 skim melibatkan 25,761 petak. Jadi berdasarkan kepada nombor, angka-angka ini maka anggaran dibuat, keperluan yang diperlukan buat masa ini untuk menggerakkan tabung ini lebih kurang RM12.8 juta dan telah pun diluluskan oleh Kabinet dan minta dimasukkan supaya kerja-kerja ini dapat dilaksanakan.
Jadi bentuk bantuan itu seperti yang saya katakan ia boleh jadi fi kepada juru ukur, kemudian berkaitan dengan permohonan hak milik. Kemudian hendak kena bayar premium tanah dan sebagainyalah. Itu terlibat. Jadi untuk soalan tambahan semasa celahan daripada Yang Berhormat Kuala Krai pun samalah. Dana yang susut itu contohlah katalah, misalannya RM12.8 juta ini tidak mencukupi, maka perlulah dicari dana tambahan. Jadi mungkin kementerian sendiri akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk ditambahkan dalam bajet tahunan dan sebagainya. Ini bergantung kepada keperluan dari semasa ke semasa. Jadi bagi Yang Berhormat Kota Tinggi, bila hendak diselesaikan. Kita akan selesaikan apabila bermulanya tabung ini bergerak dan pihak Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Malaysia ini tahu di mana hendak mula daripada negeri-negeri Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan sebagainya. Jadi semua ini akan diuruskan bersama dengan kerajaan negeri masing-masing. Insya-Allah kita akan cuba selesaikan supaya legasi ini dapat kita selesaikan once and for all. Jadi terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Menteri, sedikit lagi Yang Berhormat menteri penjelasan. Boleh Tuan Yang di- Pertua? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pendek soalan. Saya masih quite perplexed. Saya tidak berapa faham sebab setahu saya strata title ini paling banyak yang saya dapat aduan daripada saudara mara ialah di Lembah Klang, di Selangor. Jadi saya hendak tahu kenapa Selangor tidak termasuk dalam laporan untuk strata title ini? Oleh sebab banyak bangunan lama ini menyusahkan sebab mereka tidak dapat hendak jual, tidak dapat tukar nama. Kefahaman saya beneficiary owner tetapi not registered owner. Apa-apa jadi dekat mereka ini, kalau mati pun dia tidak dapat apa-apa. Ini akan menyebabkan kerugian yang begitu banyak kepada rakyat. Jadi saya hendak tanya kenapa Selangor dan Kelantan tidak berdaftar? Lebih-lebih lagi negeri Selangor sebab banyak rumah strata title. Saya tak faham apa penjelasan atau alasan kenapa Selangor tidak masuk. Oleh sebab begitu ramai rakyat yang ada banyak masalah ini sebab mereka tidak dapat strata title walaupun sudah menabung berpuluh-puluh tahun. Takkanlah kita benda-benda macam ini pun kita hendak ambil sambil lewa. Jadi ini perkara yang amat menyedihkan. Kenapa ini berlaku? Saya hendak tanya kementerian, apa alasan yang diberi yang menyebabkan mereka tidak masuk dalam senarai ini.
Untuk makluman Yang Berhormat Kota Tinggi, saya hendak jawab bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Kelantan, saya tidak boleh jawab ini sebab semua kerajaan negeri daripada Pejabat Tanah dan Galian mungkin sebahagian perumahan di kerajaan negeri masing-masing, diminta untuk memaklumkan masalah- masalah yang berlaku, hal-hal berkaitan dengan rumah kos rendah, rumah selain daripada rumah, mungkin kos sederhana yang bertingkat-tingkat ini. Semua negeri bagi, kecuali Selangor dan Kelantan. Jadi saya hendak kata kalau...
Yang Berhormat Menteri, sedikit lagi Yang Berhormat Menteri, minta maaf. Belakang, Kota Tinggi juga. Tidak, ini masalah tanah ini bukannya masalah baru. Berpuluh-puluh tahun. Kita buat bangunan ini saya faham bangunan ada yang 30 tahun, 40 tahun, rumah murah. Dahulu adalah masalah, mungkin termasuk salah lot, tidak dizonkan, tidak dibuat syarat okeylah. Baru-baru ini apabila ada usaha yang baik daripada kementerian untuk bantu kerajaan negeri atau pun pihak berkuasa tempatan atau pemilik-pemilik ini menyelesaikan masalah ini sepatutnya kita ambil berat. Oleh sebab masalah, contohnya dahulu timbul soalan siapa yang hendak bayar. Sekarang ini Kerajaan Pusat, kementerian ambil inisiatif hendak bayar, hendak selesaikan masalah. Saya tidak faham kenapa yang kerajaan negeri tidak ambil perhatian padahal ini melibatkan kerugian yang begitu besar kepada rakyat, kepada pemilik-pemilik yang berpuluh-puluh tahun tunggu hendak dapat title. Tak kan ini pun kerajaan negeri ambil mudah? Saya tidak faham. Saya minta benda ini beri- betullah Kerajaan Pusat hendak bagi duit tetapi ini pun hendak jadi polemik atau jadi politik. Jangan dipolitikkanlah. Ini masalah harta benda rakyat yang berpuluh-puluh tahun. Mereka simpan berdikit-dikit, sedikit-sedikit tetapi tidak diberi perhatian. Sampai ada yang meninggal termasuk ada di kalangan saudara-mara saya juga.
Jadi saya amat kecewa dan saya minta Yang Berhormat Menteri, kementerian dan kerajaan negeri janganlah benda macam ini pun tidak diambil berat. Oleh sebab ini melibatkan simpanan pelaburan rakyat berpuluh-puluh tahun, bergenerasi. Minta maaf Tuan Yang di-Pertua. Saya ambil sedikit sebab benda ini melibatkan rakyat. Benda yang paling mudah kita buat tetapi kita tidak buat. Itu saya marah sedikit. Minta maaf Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Tinggi. Saya ingat Yang Berhormat Kota Tinggi ini dia berjuang yang rakyat. Jadi saya pun rasa, kita tidak boleh bagi alasan sebab pasal apa. Mungkinlah mereka tidak peduli yang pertama tetapi saya rasa yang kalau kerajaan tidak berapa hendak peduli, jadi rakyat pun kena marah kerajaan itulah. Jadi untuk makluman Dewan, kita we work untuk permulaan ini takat yang ada data dan later kalau ada lagi peruntukan kita akan cuba bantu. Sekian, terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa usul Yang Berhormat Menteri Kewangan seperti yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini di bawah Perkara 1 hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan]
Pemakluman Oleh Tuan Yang Di-Pertua — Ucapan Penutup Sidang Majlis Mesyuarat Bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parlimen Ketiga Belas
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sidang Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parlimen Ketiga belas 2018 telah berlangsung selama 20 hari mulai daripada hari Isnin, 5 Mac 2018 hingga hari Khamis 5 April 2018. Seperti mana semua Ahli Yang Berhormat sedia maklum, persidangan ini merupakan persidangan yang terakhir sebelum pembubaran Parlimen diumumkan bagi membolehkan PRU Ke-14 dilangsungkan.
Sesungguhnya persidangan Parlimen Ketiga Belas ini telah mencipta satu sejarah kerana telah berlangsung selama enam penggal dengan jayanya. Dalam tempoh ini juga seperti mana yang telah saya nyatakan pada awal penggal ini semasa ucapan Pemasyhuran Pemilihan saya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 24 Jun 2013 dengan seruan, “Ayuh! Kita ubah. Kita mereformasi. Kita bertransformasi. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Ini kali, lah!”...
[Dewan riuh]
[Tepuk] Itu janji saya, itu janji saya pada ketika itu. Janji untuk melaksanakan pembaharuan. Janji untuk melakukan perubahan, dan janji untuk memartabatkan institusi Parlimen Malaysia, itu janji saya. Ahli-ahli Yang Berhormat, alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT janji saya untuk melaksanakan Pelan Transformasi Parlimen telah berjaya dilaksanakan dengan sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat. Dalam hal ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Eksekutif khususnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak di atas sokongan dan persetujuan kerajaan terhadap perancangan Pelan Transformasi Parlimen yang telah diusahakan. Saya bersyukur pindaan terhadap beberapa peraturan-peraturan mesyuarat baharu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada sesi persidangan mesyuarat yang pertama telah diterima baik oleh hampir semua Ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan dan pembangkang bagi membolehkan satu anjakan baru bersesuaian dengan situasi dan amalan Parlimen Dunia, antaranya termasuklah:
(i) memulakan sesi Kamar Khas (Special Chamber) bagi urusan Usul Ucapan Penangguhan di bawah Peraturan Mesyuarat 17A dan Peraturan Mesyuarat 18 iaitu perkara tertentu yang perlu disegerakan; (ii) membenarkan tiga pertanyaan jawapan lisan dikemukakan semasa sidang berlangsung melalui pindaan Peraturan Mesyuarat 22(5); (iii) memendekkan tempoh Notis bagi mengemukakan pertanyaan jawapan lisan daripada 14 hari kepada 10 hari bekerja sebelum hari persidangan berlangsung melalui pindaan Peraturan Mesyuarat 22(2); dan (iv) mewujudkan waktu pertanyaan Menteri ataupun MQT - Minister Question Time, selama 30 minit pada setiap hari Selasa dan Khamis dengan pemberitahuan secara bertulis satu hari terlebih dahulu. Ahli-ahli Yang Berhormat, malangnya saya sedar perubahan yang saya janjikan itu tidak mungkin dapat dilaksanakan untuk memenuhi hampir semua kehendak Ahli-ahli Yang Berhormat. Kehendak saya untuk membuat perubahan yang merangkumi perkara-perkara yang melibatkan tatatertib tidak dapat dilaksanakan atau tercapai atas sebab keengganan segelintir Ahli-ahli Yang Berhormat yang gemar membelakangkan etika sebagai Wakil Rakyat. Senang kata, siapa Ahli-ahli Yang Berhormat yang lebih mengutamakan kepentingan politik masing-masing. Beberapa hari yang lalu semasa perbahasan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018, saya secara berseloroh telah meminta pihak kerajaan membuat satu ‘Rang Undang-undang Menjaga Kesihatan Speaker’, untuk mewujudkan insurans atau kuasa Speaker boleh menyaman kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang selalu menimbulkan kerenah. Ini susulan daripada tindakan dan ucapan Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak mahu menghormati dan mengikut Peraturan Mesyuarat dengan mengeluarkan kata-kata unparliamentary sehingga menjejaskan kesihatan Speaker. Pada ketika itu, Ahli Yang Berhormat Sepang telah mencelah meminta saya sebagai Speaker meletak jawatan bagi menyelesaikan masalah kesihatan Speaker. Waktu itu saya tidak memberi apa-apa respons, namun demikian pada hari ini, inilah respons saya kepada saranan Yang Berhormat itu dengan serangkai pantun. Nampak jelas dalam teropong; Biji kelapa terapung-apung; Speaker ini keras tempurung; Kalau dicabar terus menyorong...
[Dewan riuh]
[Tepuk] Ini bermakna selagi ada sikap Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak mengutamakan Peraturan Mesyuarat sehingga mengaibkan Speaker dan Timbalan-timbalannya selagi itulah saranan Ahli Yang Berhormat Sepang itu tidak akan diambil peduli atau fall in deaf ears. Ahli Yang Berhormat, seperti mana juga dengan aspirasi atau kehendak Ahli-ahli Yang Berhormat yang sedang ghairah untuk dicalonkan kembali di kawasan masing-masing dalam PRU14 ini, saya juga ghairah dan tertunggu-tunggu untuk saya dicalonkan seperti Ahli- ahli Yang Berhormat...
[Dewan riuh]
[Tepuk] Hakikatnya, tarikh pencalonan kita adalah berbeza kerana pencalonan Ahli-ahli Yang Berhormat akan ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan yang menentukan kemenangan adalah oleh rakyat biasa. Manakala bagi pencalonan saya, untuk bertanding adalah pada hari pertama sidang Dewan bermula selepas selesai urusan pilihan raya. Yang menentukan kemenangan sekiranya saya dicalonkan untuk mempertahankan Kerusi Speaker ialah Ahli-ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU14. Sehubungan dengan itu, saya amat mengharapkan mudah-mudahan Ahli-ahli Yang Berhormat yang menang dalam PRU14 nanti akan lebih mengutamakan etika sebagai Ahli Parlimen mengatasi kepentingan politik peribadi.
Lazimnya dalam setiap pemilihan tentunya ada kekecewaan, makanya saya mengharapkan sesiapa Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak dipilih lagi sebagai calon dari parti masing-masing janganlah kecewa kerana itu sebahagian daripada asam garam politik. Begitu juga dengan diri saya, saya sendiri juga sudah bersedia untuk menghadapi kekecewaan sekiranya saya tidak dicalonkan semula selepas PRU14. Fasal manalah tahu yang menang adalah daripada pihak sebelah kiri duduk sebelah kanan...
[Dewan riuh]
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kedua- dua Timbalan Yang di-Pertua ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan Majlis Mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang Persidangan Parlimen Ketiga Belas sejak daripada 24 Jun 2013 sehingga hari ini 5 April 2018. Pelbagai warna-warni peristiwa pahit manis turut berlaku sepanjang kita bermesyuarat semasa persidangan Parlimen Ketiga Belas ini yang merupakan rencah dan asam garam di mana-mana Parlimen dunia sekalipun. Mudah-mudahan segala sumbangan, idea, pandangan dan pengalaman Ahli-ahli Yang Berhormat akan menjadi suatu medium check and balance kepada pihak kerajaan dalam perjalanan negara Malaysia ini ke arah negara maju serta memartabatkan institusi Parlimen Malaysia sebagai sebuah Parlimen yang unggul di mata dunia. Saya percaya dalam tempoh Majlis Parlimen Ketiga Belas ini, semua Ahli-ahli Yang Berhormat telah sedaya upaya menyampaikan wadah dan hasrat setiap rakyat di kawasan Parlimen Ahli-ahli Yang Berhormat demi memastikan suara mereka dibawa ke Dewan yang mulia ini di samping menunaikan tanggungjawab dan kepercayaan Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai Wakil Rakyat yang dipilih melalui amalan suatu sistem demokrasi yang kita warisi semenjak lebih kurang 60 tahun yang lalu. Ahli-ahli Yang Berhormat, Majlis Parlimen Ketiga Belas kali ini sudah hampir ke penghujungnya. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai kerajaan, pegawai Parlimen Malaysia... [Tepuk] Wakil media massa serta semua pihak yang turut terlibat... [Tepuk] Secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengendalian urusan Majlis Mesyuarat sepanjang tempoh kita bersidang daripada tahun 2013 sehingga saat ini. Akhir kata, saya ingin mengucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat selamat pulang, selamat berkempen dan selamat bertanding demi untuk kepentingan rakyat semua... [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua, boleh minta cakap sedikit.
Tuan Yang di-Pertua...
Saya belum habis, Yang Berhormat. Saya rasa habis sekejap dahulu.
Tuan Yang di-Pertua, bagi pihak rakan- rakan kita berikan- saya tahu belum habis. Kita berikan tepukan gemuruh yang sana dan di sini pada Speaker... [Tepuk]
Akhir kata, saya ingin mengucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, selamat pulang, selamat berkempen dan selamat bertanding demi untuk kepentingan rakyat semua. Semoga Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa sihat walafiat di samping keluarga tersayang. Buah rambutan buah pulasan; Dimakan bersama buah berangan; Ada Harapan ada Barisan; Selamat bertanding dalam ketenangan...
[Dewan riuh]
[Tepuk]
Jadi sebelum saya menutup persidangan ini kalau ada dari pihak kerajaan untuk menyampaikan ucapan saya persilakan. Selepas itu daripada pihak pembangkang. Sila. [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua, kami faham yang di sini dan di sana itu adalah merupakan satu amanat terakhir daripada Tuan Yang di-Pertua. Sekali lagi kita berikan tepukan gemuruh untuk beliau... [Tepuk] Bagi pihak kerajaan dan rakan-rakan di sebelah sini dan juga rakan-rakan di sebelah sana tentunya di dalam Majlis Parlimen yang ke-13, kami ingin mengucapkan penghargaan di atas sumbangan yang amat profesional oleh Tuan Yang di-Pertua pada kami di Dewan Rakyat... [Tepuk] Bagi pihak rakan-rakan di sini dan di sana, kami ingin mengucapkan terima kasih, bukan hanya kepada Tuan Yang di-Pertua, kita juga ingin ucapkan terima kasih kepada Timbalan-Timbalan Tuan Yang di-Pertua... [Tepuk] , Setiausaha Dewan Rakyat... [Tepuk] Seluruh pegawai dan kakitangan Jabatan Parlimen... [Tepuk] Dan para Bentara... [Tepuk] Serta yang lain-lain. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pembangkang... [Tepuk] Dan rakan-rakan di sebelah sana, keseluruhannya walaupun kita akan berjumpa di medan dan di gelanggang. Akan tetapi kita amat yakin bahawa pengalaman kita di Dewan ini, biar pun kita berbeza pendapat tetapi di luar Dewan kita tetap sebagai sahabat... [Tepuk] Sebagai sahabat tentunya apabila kita mempunyai perbezaan-perbezaan pegangan selain daripada perbezaan pendapat tetapi yang penting ialah kembali kepada tasawuf iaitu... [Bercakap dalam bahasa Arab] Ada adab-adab untuk menangani perbezaan terutamanya apabila kita berada di Dewan yang mulia ini kerana kita bukan sekadar diperhatikan oleh para pemerhati yang datang ke Dewan ini, tetapi melalui siaran langsung secara konvensional melalui saluran-saluran TV, pada waktu yang sama melalui streaming rakyat melihat tentang cara persembahan kita, cara gelagat kita. Saya harap jika ada sebarang kesilapan tatacara sama ada di sebelah sini atau sebelah sana di Parlimen yang ke-14 nanti kita akan perbaiki dengan lebih baik... [Bercakap dalam bahasa Arab] Dengan cara kebijaksanaan dan juga dengan ketatasusilaan. Saya harap penterjemahan makna demokrasi di negara kita, kita akan lakukan dengan sebaik-baiknya sama ada di dalam atau di luar Dewan. Tentulah pada anggapan saya, apa yang harus kita lakukan mesti dilakukan dengan transformasi yang lebih baik sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Tuan Yang di-Pertua. Walaupun Tuan Yang di-Pertua tidak ada peluang untuk bertanding di mana-mana Kerusi Parlimen tetapi... [Disampuk] Saya tahu memang tidak ada peluang untuk bertanding sebab saya telah tutup pintu bertanding sebagai Ahli Parlimen itu... [Ketawa] Jadi carilah kerusi-kerusi lain yang lebih tinggi untuk dikekalkan dengan sokongan sebelah sini dan sebelah sana... [Tepuk] Saya harap apabila kita berada di gelanggang dalam waktu yang terdekat ini dan hari ini adalah hari yang terakhir, kita akan menerima kemenangan atau kekalahan. Saya harap yang menang tidak jadi arang, yang kalah tidak jadi abu. Saya harap rakan-rakan di sebelah sini akan bertambah dan melimpah ke sebelah sana... [Tepuk] Dan yang menang jangan menekan yang kalah, yang kalah mesti mengiktiraf yang menang. Insya-Allah walaupun sebelah sana agak yakin mereka menang tetapi kami lebih yakin insya-Allah... [Tepuk] Dengan mandat yang lebih besar kita akan melakukan sesuatu yang lebih baik dan insya-Allah apa yang kita hajatkan harus ada... [Bercakap dalam bahasa Arab] Ertinya penyatuan pemikiran sama ada kita di belah sini atau sebelah sana. Bagi pihak Ketua Majlis iaitu Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak walaupun tidak boleh menyebutkan nama di sini tetapi, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Majlis Parlimen Ketiga Belas atas sumbangan beliau bagi memperkukuhkan segala transformasi yang telah dilaksanakan.... [Tepuk] Insya-Allah jika mandat lebih besar kami terima kami akan lakukan yang terbaik untuk rakyat keseluruhannya, insya-Allah... [Tepuk] Mudah-mudahan apa yang kita harapkan
akan didengar oleh Allah Taala dan di waktu tidak ada hijab doa ini, mudah-mudahan ini... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Kita akan lakukan dengan terbaik, dan kita jumpa di gelanggang dengan kaedah yang terbaik. Lawan tetap lawan!... [Tepuk]
Yang Berhormat Baling sokong.
Sila Yang Berhormat Permatang Pauh. Sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, memberikan izin saya untuk mengatakan kali terakhir pada sesi ini. Terima kasih dan penghargaan kepada semua belah sini dan belah sana dan bagaimana kita boleh merancakkan demokrasi ini tetapi mestilah dengan adanya keadilan. Saya juga membawa sebab saya tidak habis setengah jalan juga- salam daripada mantan Ketua Pembangkang yang sekarang berada di hospital. Dia mengingatkan saya untuk berterima kasih kepada semua tetapi juga jangan kita lupa sebagai Wakil Rakyat, apa yang kita pegang adalah mandat untuk melakukan yang terbaik. Tidak kira bahawa ini adalah self-interest ataupun lain tetapi hanyalah untuk melihat bahawa negara kita ini dinobatkan, dijadikan, direformasikan supaya menjadi... [Bercakap dalam bahasa Arab] Bahawa pada akhirnya kita sebagai insan, hamba Allah itu yang kita ingin lakukan, adalah kebaikan supaya kita mendapat kebaikan untuk diri kita, juga untuk seluruh negara kita. Terima kasih juga kepada pegawai-pegawai yang telah mendukung institusi Parlimen ini dan juga Datuk Roosme, dengan izin, saya menyebut nama. Bagaimana institusi Parlimen ini boleh berjalan lancar dengan pengorbanan dan sumbangan semua pegawai- pegawai yang di belakang tabir. Juga bagaimana kita melihat bahawa kalau kita bolehlah, apa yang kita suarakan ini mungkin ada perbezaan, tetapi janganlah sampai menjadi kezaliman yang berlaku. Apabila isu-isu negara dipolitikkan, isu-isu yang penting untuk kita bersama menjadi bahan politik sampai lupakan nilai bahawa kita ini adalah pemegang amanah sebagai Wakil Rakyat. Pada hari yang terakhir ini belah sini boleh kita timbang kalau kita menang insya- Allah Tuan Yang di-Pertua boleh jugakan. Akan tetapi kemungkinan ...
Jangan bagi tawaran begitu, kecoh. Janji pembangkang selalu tidak ditepati.
Insya-Allah doa kami juga, kami hendak memperbetulkan negara ini. Kami juga adalah orang-orang yang kita rasa bahawa juga kami dekat dengan Allah, dekat dan doa kami juga dimakbulkan. Harap- harap kita akan menang. Biarlah yang paling baik untuk negara kita. Bukan kerana jawatan, bukan kerana kita ini hendak kejar kedudukan tetapi untuk memberi khidmat kepada negara kita. Jadi saya terima kasih kepada semua dan biarlah kita mempraktikkan, melaksanakan demokrasi, merasakan bahawa kita rakyat Malaysia dan bukan kerana kaum, warna kulit, agama, bangsa tetapi rakyat Malaysia yang perlu dibela bersama membina negara untuk sebaik mungkin. Insya-Allah untuk harapan yang baharu. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua... [Tepuk]
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, satu perkara yang penting yang juga kita dapat luluskan dalam Parlimen ini yang perlu saya zahirkan di sini dan saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Arau telah mengingatkan saya iaitu elaun Ahli- Ahli Parlimen yang telah kita persetujui semua untuk dinaikkan... [Tepuk] Untuk itu sudah juga kita buat dalam sesi Parlimen.
Jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan lafaz, Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang tidak ditetapkan. Terima kasih.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 1.01 petang]