Dewan Rakyat · 12 October 2021

15th Parliament, session 4, meeting 1 · 562 turns · 32,116 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

(Pembukaan)

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Usul — Menangguhkan Bacaan Kali Yang Kedua Dan Ketiga Rang Undang-Undang Di Bawah P.M. 62Bill

Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku JaafarPBB · BNMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) · Santubong

Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon D.R. 13/2020 Rang Undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; D.R. 14/2020 Rang Undang-undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; D.R. 15/2020 Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020; D.R. 12/2020 Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020; D.R. 2/2021 Rang Undang- undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021; D.R. 4/2021 Rang Undang-undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2011; D.R. 5/2021 Rang undang-undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021; D.R. 6/2021 Rang undang-undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021; seperti yang tertera di nombor 5 hingga 12 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada hari ini ditangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga dan dibawa ke mesyuarat akan datang” Tuan yang di-Pertua, “Saya juga mohon Usul Perdana Menteri berkenaan pengungkaian ordinan-ordinan darurat seperti yang tertera di nombor 13 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada hari ini dibawa ke mesyuarat akan datang”.

Tuan Yang di-Pertua

Baiklah, terima kasih Yang Berhormat Menteri.

Jawapan-Jawapan Menteri Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions

Mohd Nizar bin ZakariaUMNO · BNParit · question

1. Dato' Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit] minta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan pendirian terkini kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan berkaitan isu pakatan keselamatan tiga negara yang telah diwujudkan antara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (AUKUS) susulan kunjungan Utusan Khas Australia ke atas Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan baru-baru ini.

Dato’ Seri Hishammuddin Tun HusseinUMNO · BNMenteri Kanan Pertahanan · Sembrong

Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Parit yang telah membangkitkan soalan yang sememangnya amat penting dan berkait rapat dengan soal keselamatan di rantau ini. Untuk makluman Yang Berhormat, pendirian Kerajaan Malaysia berhubung AUKUS tetap konsisten dengan pendirian yang telah ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mana pembentukan AUKUS melahirkan kegusaran kerana ia berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara. Ia juga bakal memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan. Pendirian ini tidak berganjak walaupun selepas saya bertemu dengan Utusan Khas Australia Vice Admiral David Johnston baru-baru ini dan sebelum itu saya juga mengadakan perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton. Dalam kedua-dua perbincangan ini, saya telah menegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitik pertimbangan kuasa-kuasa besar di rantau ini. Saya juga tekankan sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Australia harus hormati prinsip ini dan juga menghormati pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah the United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) dan Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone (SEANWFZ) Saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa sekiranya kapal perang atau kapal selam berkuasa nuklear memasuki wilayah perairan Malaysia, berhasrat memasuki pelabuhan Malaysia atau mahu melaksanakan latihan ketenteraan bersama Malaysia, persetujuan khas daripada Menteri Pertahanan Malaysia mestilah terlebih dahulu diperolehi yang mana saya akan dipertimbangkannya secara case by case, dengan izin. Utusan Khas Australia pada minggu lepas telah menerangkan bahawa AUKUS bukan pakatan ketenteraan tetapi sebaliknya sebuah kerjasama bagi perkongsian teknologi kapal selam berkuasa nuklear serta menjelaskan program kapal selam berkuasa nuklear ini tidak melibatkan persenjataan nuklear selaras dengan Non-Proliferation of Nuclear Weapons Treaty (NPT).

Dato’ Seri Hishammuddin Tun HusseinUMNO · BNMenteri Kanan Pertahanan · Sembrong

Namun saya mengingatkan kepada Menteri Pertahanan dan Utusan Khas Australia bahawa semua pihak harus menghindari daripada menggunakan sebarang tindakan ketenteraan yang dianggap provokatif atau berpotensi meningkatkan ketegangan serta mencetuskan konflik. Saya turut menekankan bahawa pendirian Malaysia tidak akan berganjak iaitu sebarang masalah perbezaan dan pertikaian perlu ditangani konsisten dan jelas pendirian kita menerusi dialog dan jalan perundingan. Saya berhenti di sini. Masa sudah cukup.

Tuan Yang di-Pertua

Soalan tambahan pertama?

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan yang telah pun menjelaskan secara prinsip dan konsisten, khususnya dalam negara kita dalam hal-hal yang bersangkut-paut tentang keselamatan, khususnya ketenteraan dalam negara kita.

Walaupun mungkin ada perkara-perkara yang agak rumit dan sulit berlaku tetapi saya yakin dan percaya, kerajaan khususnya di bawah pimpinan Yang Berhormat akan dapat terus konsisten. Saya ingin bertanya, adakah pihak kementerian bercadang untuk memanfaatkan kerjasama pertahanan di peringkat ASEAN yang menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama AUKUS ini. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat.

Saya setuju dengan Yang Berhormat Parit bahawa perkara ini memang rumit dan cukup sulit. Sejak saya menerajui Kementerian Pertahanan September lalu, saya telah pun maklumkan kepada Dewan yang mulia ini di peringkat ASEAN penting untuk kita berdepan dengan cabaran ini sebagai satu blok 10 negara. Saya telah berhubung dengan Menteri Pertahanan Singapura, Menteri Pertahanan Indonesia, Brunei iaitu Tuan Yang Terutama Awang Halbi bin Mohd Yussof dan juga merupakan Pengerusi kepada ASEAN tahun ini dan esok saya akan menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan Cambodia, Jeneral Tea Banh dan dalam masa terdekat ini Menteri Pertahanan Filipina iaitu Delfin Lorenzana yang sama sekali saya harap bahawa apa yang diwujudkan di antara Malaysia dengan negara-negara berkenaan secara dua hala dapat membantu kita meneliti cara bagaimana dapat mengimbangi kuasa-kuasa besar di rantau kita. Pada bulan November akan diadakan ASEAN Defence Ministers’ Meeting Retreat (ADMM) yang akan dipengerusikan oleh Brunei Darussalam dan ini akan menjadi satu platform yang cukup penting bagi membincangkan usaha ke arah mengukuhkan kerjasama pertahanan di peringkat serantau seperti diminta oleh Yang Berhormat Parit tetapi pada masa yang sama, saya pasti AUKUS turut akan dibincangkan di sana nanti dengan harapan ia berupaya mengukuhkan kesefahaman antara setiap negara anggota ASEAN dalam pendirian mereka terhadap AUKUS. Jadi, usaha secara dua hala telah pun saya usahakan dan akan berterusan tetapi kita berpeluang di bawah ADMM nanti bulan depan untuk kumpul bersama 10 Menteri Pertahanan ini untuk memikirkan mungkin kalau dapat kita bersetuju kepada satu pendirian bersama.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.

Datuk Seri Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, terima kasih kerana jawapan tadi dengan jelas menerangkan tentang pendirian Malaysia terhadap AUKUS iaitu ini tindakan provokasi boleh mengundang kuasa lain bertindak agresif dan ia mengganggu-gugat rantau Asia. Terima kasih. Soalan tambahan saya, kenapa timbul AUKUS? Kalau ditanya kepada tiga negara ini, itu adalah respons mereka terhadap kegiatan distabilisasi dan intimidasi China, khususnya di kawasan Laut China Selatan dan ini fakta. Yang Berhormat Menteri pernah jadi Menteri Luar dan sekarang Menteri Pertahanan, pernah juga Menteri Pertahanan berulang kali kita menghantar memo bantahan diplomatik kerana pencerobohan China terutama kawasan penangkapan ikan dan kawasan kegiatan energy Petronas. Itu fakta. Vietnam juga berpendapat begitu, Filipina juga. Bahkan Filipina terang-terang melalui Menteri Luar nya dan Menteri Pertahanan mengatakan tidak setuju dengan AUKUS. Terang. Satu-satunya setakat ini. Baik, bila ada aksi ada reaksi. AUKUS adalah kerana kepercayaan mereka China melakukan tindakan intimidasi, maka reaksinya begitu. Soalan saya spesifik, Yang Berhormat Menteri sekarang sedang menghubungi rakan sejawat di kawasan ASEAN kerana dengan ASEAN sahaja suara kita lebih dihormati dan didengar. End game kita bila bertindak atas nama ASEAN ini apa? Kalau Perancis, jelas dia desak EU supaya tangguh rancangan perdagangan antara EU dan Australia. Noktah, jelas.

Tuan Yang di-Pertua

Soalan, Yang Berhormat.

Dato' Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

ASEAN ini apabila Yang Berhormat Menteri nanti berunding dengan rakan-rakan sejawat, langkah sampai tahap mana yang Yang Berhormat Menteri boleh anjurkan? Sebab tadi Yang

Dato' Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

Berhormat Menteri sebut walaupun ada AUKUS, Australia nanti kalau hendak buat latihan ketenteraan dengan kita tidak secara affirmative Yang Berhormat Menteri sebut Malaysia akan tolak. Sebaliknya ada ruang iaitu Yang Berhormat Menteri boleh bagi kelulusan lagi. Tolong jelaskan.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih.

End game kita sentiasa untuk memastikan bahawa rantau kita stabil. Tidak kira apa pertimbangan kuasa-kuasa besar sama ada China ataupun Amerika Syarikat dan kita berada dalam satu posisi yang cukup strategik. Oleh sebab itu persefahaman di ASEAN akan membantu kita berdepan dengan kedua-dua kuasa besar ini. Secara individu, mungkin kekuatan ketenteraan kita terhadap Amerika Syarikat dan China tidak ke mana sangat tetapi 10 negara dalam satu rantau yang cukup strategik untuk China dan juga Amerika Syarikat, penting untuk kita berdepan dengan dua-dua kuasa ini secara dekat tetapi solidariti ASEAN ini tidak boleh berpecah. Sebab itu bila tanya apa end game ASEAN, ini banyak bergantung kepada mesyuarat kita yang akan diadakan bulan depan atau bila 10 negara ini akan berjumpa dan berkumpul dan insya- Allah, kalau sekiranya kita dapat satu pendirian bersama yang jelas, ini akan membantu kita berdepan dengan kuasa-kuasa ini. Selain daripada China dan tindakan kita terhadap China, daripada nota-nota bantahan dan tindakan-tindakan ATM, sama ada Tentera Laut atau Tentera Udara sentiasa konsisten dan prinsip kita mudah. Kemesraan hubungan kita dengan mana-mana negara atau mana negara dalam pelbagai hala tidak akan sekali-kali menjejaskan pendirian kita memastikan kedaulatan negara tercemar atau berada dalam keadaan risiko. Ini merupakan satu teras di bawah ATM yang kita letak banyak tumpuan iaitu teras diplomasi pertahanan dan hendak meniti, menyelami, mengikuti perkembangan terkini saya percaya bahawa kehormatan, penghormatan, respect, dengan izin yang diberikan kepada negara kita mampu memberikan kita sedikit sebanyak jaminan bahawa kita boleh memainkan peranan sama ada bilaterally atau multilaterally atau dengan kuasa-kuasa besar FPDA dalam beberapa minggu ini akan meraikan 50 tahun kewujudannya. Itu melibatkan empat negara iaitu Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia. Ini akan diraikan dan kita akan jayakan di Malaysia sebagai tuan rumah. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Saya ingin menjemput Yang Berhormat Datuk Dr. Shahruddin bin Md Salleh.

Shahruddin bin Mohamed SallehBERSATU · PHSri Gading · question

2. Datuk Dr. Shahruddin bin Md Salleh [Sri Gading] minta Perdana Menteri menyatakan tentang status dan hak jika penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam tersebut.

Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin AhmadUMNO · BNMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) · Mersing

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Soalan daripada sahabat saya Yang Berhormat Sri Gading. Sehingga kini untuk perhatian ahli-ahli Dewan, sebanyak 98.18 peratus kakitangan awam telah menerima vaksin lengkap. Maknanya hanya 1.92 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam yang belum divaksin. Justeru suntikan vaksin COVID-19 ini masih lagi berjalan dan dibuat secara sukarela termasuk juga kakitangan perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, jika kerajaan ingin mewajibkan atau memastikan semua 1.6 juta ini disuntik, ia perlukan beberapa syarat, peraturan dan juga engagement supaya perkara ini dapat dilakukan dengan cara yang berhemah. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Soalan tambahan pertama Yang Berhormat.

Datuk Dr. Shahruddin bin Md SallehBERSATU · PHSri Gading

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Jadi jelas bahawa ada kakitangan awam yang masih tidak mengambil vaksin yang disebutkan tadi, bahawa 1.6 juta menghampiri 2 peratus, hampir mungkin tiga

Datuk Dr. Shahruddin bin Md SallehBERSATU · PHSri Gading

ribu penjawat awam yang tidak mengambil vaksin. Jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan untuk menangani perkara ini dengan baik dan berhemah. Apa yang saya hendak sebutkan di sini, yang hendak tanyakan ialah di sini kita di Parlimen kita ambil vaksin ambil RTK dua kali seminggu, hari Isnin dan Rabu. Adakah kerajaan bercadang untuk menggunakan perkara yang sama iaitu ujian RTK kepada guru- guru dan penjawat-penjawat awam dua kali seminggu juga supaya tidak tersebarnya penyakit COVID-19 ini, itu sahaja.

Tuan Yang di-Pertua, cadangan yang baik. Kita boleh bawa dan bincang dalam mesyuarat MKN pandemik yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih, soalan tambahan kedua. Yang Berhormat Tebrau.

Yang Berhormat Menteri, soalan tambahan saya adalah macam mana dengan orang awam yang degil tidak mahu divaksin. Bagaimana untuk memastikan mereka yang degil ini tidak menjejaskan kesihatan orang awam. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua, soalan daripada Yang Berhormat Tebrau sangat unik kerana kita tidak boleh hendak paksa. Akan tetapi di Singapura ada undang-undang yang mewajibkan. Tetapi kita belum sampai lagi ke tahap itu. Walau bagaimanapun, pelbagai cara yang boleh dibuat oleh pihak berwajib. Umpamanya kalau sekarang ini kalau dia tidak divaksin, maka dia tidak boleh menikmati makan keluarga di restoran kerana restoran mewajibkan complete vaccine. Dengan cara begini lama-lama dia akan sedar bahawa dia tidak boleh hidup tanpa mengikuti nikmat orang lain. Walaupun kita tidak paksa, tetapi lama-lama dia akan sedar bahawa untuk hidup dalam dunia ini ada dua cara. Sama ada passive infection vaksin atau dia kena active infection. Tetapi kalau active infection, risikonya amat tinggi. Dia boleh pergi ke fasa 3, 4 dan boleh masuk ICU. Jadi kita serah kepada kebijaksanaan mereka yang degil ini, terima kasih.

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Soalan ketiga.

Tuan Yang di-Pertua

Ya, soalan ketiga.

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Tuan Yang di-Pertua, yang menentang vaksin ini kebanyakannya orang bijak pandai. Di antaranya doktor pun ada, agamawan daripada pelbagai parti, tidak kiralah parti apa pun agamawan yang menentang, di kalangan mereka ada pengaruh. Jadi bagaimana usaha kerajaan untuk menarik mereka ini? Mereka ada pelbagai hujah, doktor pun ada, profesor pun ada dan agamawan pun ramai. Bagaimana hendak pengaruhi mereka supaya mereka vaksin dan hujah-hujah mereka tidak sampai ke peringkat kita kata hal-hal hak asasi dan sebaginya. Bagaimana kerajaan hendak imbang perkara ini sebab yang menentang ini kebanyakannya bijak dan peguam-peguam pun ramai. Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Kota Raja. Rindu dengar suara Yang Berhormat Kota Raja. Kita maklum dengan kehadiran mereka ini memang mereka berpengaruh. Tetapi apabila berhadapan dengan infectivity, jika mereka tidak percaya kepada vaksin, cubalah dengan mendapat jangkitan. Hanya apabila mereka mendapat jangkitan baharu mereka tahu betapa peritnya berhadapan dengan nyawa apabila kita berada di tahap 4, 5 atau berada dalam ICU. Oleh sebab itu kerajaan akan terus melakukan dakwah, daie buat engagement. Akhirnya mereka kena buat keputusan. Setakat ini kita belum lagi mewajibkan. Macam Kanada, dia sudah wajibkan, ada undang-undang. Rakyat mereka terlalu terdedah dan kumpulan anti vaksin ini terang- terang. Tetapi di Malaysia sebenarnya masih ada ruang untuk kita berbincang. Umpamanya dengan masyarakat Orang Asli. Akhirnya apabila kita berbincang dengan tok-tok batin, ketua-ketua masyarakat, akhirnya mereka menerima. Jadi benda ini boleh dicapai. Di Malaysia ini boleh dicapai tanpa paksaan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya Tuan Cha Kee Chin.

Cha Kee ChinDAP · PHRasah · question

3. Tuan Cha Kee Chin [Rasah] minta Perdana Menteri menyatakan apakah ada cadangan daripada kerajaan untuk menambahkan kawasan pilihan raya atau persempadanan semula, selepas pertambahan pemilih yang banyak pada suku ke-3 Tahun 2021. Berikan rasional terhadap keputusan kerajaan.

Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku JaafarPBB · BNMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) · Santubong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Urusan kajian semula persempadanan merupakan satu kajian semula pembahagian sempadan bahagian pilihan raya sedia ada bagi mengesyorkan apa-apa perubahan dengannya difikirkan perlu berdasarkan fasal 2 Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan kajian semula sempadan-sempadan setiap bahagian pilihan raya di negara ini yang terbahagi kepada tiga unit berasingan mengikut undang- undang fasal 6, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu: • Unit Negeri-negeri Tanah Melayu termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; • Unit Negeri Sabah; dan • unit Negeri Sarawak. Urusan kajian semula persempadanan bermula mengikut keadaan seperti berikut, tamat tempoh tidak kurang lapan tahun lat daripada tarikh siapnya urusan kajian semula persempadanan sebelumnya. Jika ia berkaitan dengan peruntukan fasal 2, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan – Suruhanjaya, Pesuruhjaya boleh memulakan urusan kajian sempadan semula setelah tamat tempoh tidak kurang lapan tahun lat daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya.

Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku JaafarPBB · BNMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) · Santubong

Namun, sekiranya SPR memulakan urusan berkenaan, ia perlu selesai dalam tempoh dua tahun. Bagi maksud tersebut, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula sempadan negeri Sarawak akan berakhir pada tahun 2023, negeri Sabah pada tahun 2025 manakala negeri-negeri Tanah Melayu pada tahun 2026. Jadi, dengan sendirinya menjawab soalan Yang Berhormat bahawa belum sampai tempoh lat lapan tahun untuk negeri-negeri unit-unit yang saya sebutkan tadi. Terdapat pindaan pada rang undang-undang juga perlu dibuat selepas itu apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, sama ada penambahan pengurangan kerusi Dewan ataupun pewujudan wilayah baharu, SPR hendaklah melaksanakan urusan kajian persempadanan semula dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pindaan undang- undang itu berkuat kuasa. Secara dasarnya, setiap pemilih akan mengundi berdasarkan bahagian pilihan raya yang telah ditetapkan bagi mereka. Namun begitu, jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor seperti kesulitan, kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan demografi serta bentuk geografi setiap bahagian adalah unik dan berbeza daripada segi demografi keluasan kawasan dan bentuk geografi. Setiap satu bahagian tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian yang lain. Jadinya Tuan Yang di-Pertua, belum lagi pencadangan untuk membuat kajian.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Soalan tambahan pertama.

Tuan Cha Kee ChinDAP · PHRasah

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat yang merupakan seorang pakar Perlembagaan yang telah memberikan jawapan tersebut. Cuma saya hendak sebut, selain daripada Artikel 113 subfasal (2) Perlembagaan Persekutuan yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri tadi, saya difahamkan ada kuasa untuk pembetulan sempadan (administrative power), dengan izin oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Kenapa saya hendak sebutkan di sini Tuan Yang di-Pertua adalah kerana disebabkan pertambahan pengundi yang banyak. Akan tetapi pertambahan pengundi ini kita alu-alukan sebab ia selaras dengan Undi 18 dan juga pendaftaran secara automatik. Saya beri contoh, di negeri Selangor, saya tidak mahu ambil negeri-negeri yang berbeza. Kalau di Selangor, kerusi Parlimen Bangi hampir 300,000 orang pengundi. Dengan kerusi yang paling sedikit pengundi, beza dia satu lawan enam. Sama juga macam di negeri saya Negeri Sembilan, Parlimen Rasah akan mencecah lebih 150,000 orang tetapi yang paling kurang hanya setakat 50 orang. Satu lawan tiga.

Tuan Yang di-Pertua

Soalan, soalan.

Tuan Cha Kee ChinDAP · PHRasah

Jadi, adakah apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan ataupun Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan supaya boleh dilakukan sesuatu, tidak nampak ada perbezaan yang sangat besar di antara kerusi-kerusi Parlimen yang sedia ada, tanpa apa-apa ataupun tanpa melanggar apa-apa fasal ataupun artikel dalam Perlembagaan? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Yang Berhormat Menteri.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya menerima baik apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Rasah tadi. Akan tetapi kuasa SPR dalam administrative power SPR itu hanya terbatas. Apabila kajian di sesuatu kawasan tersebut, selain daripada kajian untuk menambahkan kawasan, kajian lapan tahun bersekali itu ditentukan oleh pihak Perlembagaan adalah berhubung dengan perbezaan pengalihan mungkin batasan-batasan dalaman satu-satu unit negeri itu sahaja, bukan untuk menambahkan kawasan-kawasan tertentu. Ini kerana perlu pindaan Perlembagaan. Contohnya, kalau Ahli Parlimen ditambahkan, constituency Parlimen ditambahkan maknanya Artikel 46 kena dipinda juga dan begitulah seterusnya. Maka dalam sudut ini, SPR tidak mempunyai kuasa melebihi daripada apa yang disebutkan dalam Perlembagaan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Soalan nombor dua.

Rompin.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Rompin, ya.

Papar.

Tuan Yang di-Pertua

Hendak kena sebelah sini? Yang Berhormat Rompin. Silakan.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tadi Yang Berhormat Menteri kata kajian itu melibatkan negeri-negeri tetapi saya difahamkan peringkat Parlimen, sudah agak lama kajian tidak dibuat dan hanya melibatkan penggubahan sempadan, bukan penambahan kerusi Parlimen. Jadi, bilakah kali terakhir jumlah pertambahan kerusi Parlimen dibuat? Pada tahun bilakah dan adakah kerajaan bercadang untuk menambahkannya semula?

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Menteri.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Soalan ini juga untuk menjelaskan yang ada samar-samar sedikit keadaannya. Akan tetapi kita masih terikat kepada peruntukan Perlembagaan 113 iaitu lat lapan tahun satu kajian. Akan tetapi lat lapan tahun satu kajian ini mesti dilihat dari sudut bila kajian yang akhir habis. Jadi ia bukan dari satu tahun ke satu tahun itu satu peringkat

kajian kepada satu peringkat kajian itu lapan tahun. Contohnya kajian kepada Semenanjung pada tahun 2006, kalau kajian itu makan masa dua tahun contohnya, maknanya pada tahun 2008 baru dihitungkan lapan tahun lat dia. Jadi itulah mungkin dilihat sebab masa di antaranya itu, lat itu ataupun period which kajian itu dibuat, nampaknya amat panjang. Akan tetapi satu lagi Tuan Yang di-Pertua, kajian ini bukannya hanya untuk menambahkan jumlah tetapi ada juga boleh dikurangkan jumlah. Maknanya itu atas pihak SPR. Kerajaan tidak berhak mengganggu tugas-tugas dan tanggungjawab SPR dan SPR adalah bebas untuk membuat keputusannya sendiri untuk disarankan kepada kerajaan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Boleh ada tambahan lagi atau tidak? Soalan tambahan.

Tuan Yang di-Pertua

Maaf, sudah lebih masa Yang Berhormat. Yang Berhormat semua, sekarang tamatlah sesi untuk waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada hari ini. [Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]

Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions

Rubiah binti WangPBB · GPSKota Samarahan · question

1. Puan Rubiah binti Haji Wang [Kota Samarahan] minta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan: (a) sektor industri manakah yang paling terjejas sejak negara dilanda wabak COVID-19; dan (b) tahap kesediaan Kerajaan membuka kembali sektor ekonomi sepenuhnya.

Datuk Lim Ban HongTimbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada keprihatinan Yang Berhormat Kota Samarahan juga. Secara umumnya, sektor industri yang paling terjejas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 adalah sektor-sektor yang tidak dibenarkan beroperasi semasa tempoh pelaksanaan PKP tersebut. Data dari Jabatan Statistik Malaysia bagi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi sektor pembuatan menunjukkan penurunan 0.2 peratus pada Jun 2021. Setelah mencatatkan pertumbuhan 29.8 peratus pada bulan Mei 2021. Sektor-sektor yang menyumbang kepada penurunan ini adalah sektor-sektor yang tidak dibenarkan beroperasi iaitu kelengkapan dan pengangkutan dan pembuatan lain, mineral bukan logam, logam asas dan logam yang direka, kayu perabot, keluaran kertas dan percetakan, tekstil, pakaian kulit dan kasut. Penurunan output pengeluaran tersebut adalah sejajar dengan penutupan sektor-sektor tersebut sepanjang PKP di mana kebenaran hanya diberikan untuk meletakkan mesin dalam keadaan siap siaga iaitu bagi sektor automotif, besi dan keluli, simen, seramik dan kaca. Sementara itu, sektor-sektor lain seperti kayu perabot, tekstil dan pakaian, tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP dan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tuan Yang di-Pertua, sekiranya kita lihat pada dua penanda aras utama iaitu IPP dan nilai jualan pada Jun 2021: untuk IPP subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain, penurunan sebanyak 42.7 peratus pada Jun 2021; subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, penurunan sebanyak 21.3 peratus; subsektor produk kayu perabot, keluaran kertas dan percetakan, penurunan 18.2 peratus dan untuk subsektor produk tekstil, pakaian kulit dan kasut, penurunan sebanyak 14. 5 peratus.

Datuk Lim Ban HongTimbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Manakala bagi parameter nilai jualan sektor pembuatan pula, subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain, penurunan 30.6 peratus pada Jun 2021; subsektor kayu perabot, keluaran kertas dan percetakan, penurunan sebanyak 26 peratus; subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, penurunan sebanyak 18.8 peratus.

Datuk Lim Ban HongTimbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Maka, statistik ini menunjukkan impak yang besar ke atas sektor pembuatan ini adalah subsektor yang hanya dibenarkan beroperasi pada kadar siap siaga 10 peratus atau pun sektor yang langsung tidak dibenarkan beroperasi. Bagi bahagian dua soalan tersebut, Tuan Yang di-Pertua, kerajaan melalui Pelan Pemulihan Nasional telah menetapkan indikator seperti kes harian baharu dan kadar vaksinasi bagi kebenaran pembukaan semula sektor ekonomi. Dalam membantu menyegerakan pembukaan subsektor pembuatan yang masih belum dapat beroperasi di bawah Fasa 1 PPN khususnya, kerajaan telah membenarkan syarikat mencapai kadar vaksinasi lengkap pekerja sekurang-kurangnya 40 peratus untuk beroperasi pada tahap kapasiti 60 peratus. Sekiranya kadar vaksinasi lengkap pekerja adalah antara 60 ke 79 peratus, kapasiti pekerja adalah 80 peratus. Bagi kadar vaksinasi lengkap 80 peratus ke atas, kita benarkan kapasiti pekerja 100 peratus. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Soalan tambahan yang pertama.

Puan Rubiah binti WangPBB · GPSKota Samarahan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan tadi. Penutupan sempadan negara dan juga antarabangsa sangat memberi kesan kepada syarikat-syarikat multinasional seperti syarikat penerbangan, perkhidmatan dan juga pembuatan yang terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit dan juga menghentikan ribuan orang pekerja. Soalan tambahan saya. Bagaimanakah pihak kerajaan dapat membantu syarikat- syarikat multinasional berkenaan untuk mewujudkan semula hubungan perdagangan dua hala dengan negara-negara lain bagi membolehkan kerjasama yang sudah terjalin sebelum ini dapat diteruskan dan ini membolehkan harapan ramai lagi rakyat kita dapat kembali bekerja di sektor yang berkenaan?

Tuan Yang di-Pertua

Silakan, Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan Yang Berhormat Kota Samarahan menyebut tentang macam mana kita hendak sambung hubungan dua hala terutamanya dalam soal perdagangan. Saya hendak maklumkan bahawa walaupun pada tempoh pandemik, tempoh PKP, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebenarnya melakukan misi- misi ini secara maya. Contohnya, melalui agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kita mengadakan misi-misi secara maya dan juga kita melakukan program padanan perniagaan secara maya untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berhubung dengan pelanggan-pelanggan mereka di peringkat antarabangsa. Begitu juga dalam misi pelaburan. Walaupun kita tidak dibenarkan merentasi sempadan ataupun ke luar negara, kita melakukan misi pelaburan secara atas talian. Jadi, ini merupakan antara usaha yang telah dilakukan. Kini sempadan telah dibuka semula, saya fikir ia akan membantu misi pelaburan dan perdagangan kita dengan lebih baik. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Padang Serai.

Tuan Karupaiya a/l MutusamiPKR · PHPadang Serai

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Apakah langkah kerajaan dalam mengembalikan balik ekonomi domestik di sektor terjejas melalui promosi dan pemasaran? Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri, terima kasih Tuan Yang di- Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Silakan, Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Tuan Yang di-Pertua, tadi yang menerusi promosi dan― tidak berapa jelas. Saya minta Yang Berhormat tanya soalan tambahan, “Menerusi promosi dan” apa? Tidak berapa jelas soalan dia.

Tuan Yang di-Pertua

Ya, Yang Berhormat Padang Serai.

Tuan Karupaiya a/l MutusamiPKR · PHPadang Serai

Apakah langkah kerajaan dalam mengembalikan balik ekonomi domestik di sektor terjejas melalui promosi dan pemasaran? Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih, Yang Berhormat. Sebenarnya untuk membantu ekonomi domestik, Tuan Yang di-Pertua, kita telah melakukan program PIKAS iaitu vaksinasi. Ini kerana paling penting, kita perlu memastikan sektor-sektor ekonomi domestik ini tidak ada gangguan ke atas mereka. Maka, program vaksinasi yang dijalankan akan memastikan rantaian bekalan mereka tidak terjejas. Kita juga telah melaksanakan Program Safe@Work, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua, untuk membantu membentuk persekitaran kerja yang selamat. Usaha-usaha untuk mempromosikan produk-produk mereka ataupun perkhidmatan-perkhidmatan syarikat-syarikat tempatan, kita banyak melakukan usaha ini melalui agensi di bawah MITI iaitu MATRADE. Contohnya, kita memperkenalkan satu geran yang dinamakan sebagai Market Development Grant (MDG) untuk membantu syarikat-syarikat tempatan memasarkan produk mereka dengan menyertai pameran- pameran antarabangsa sama ada secara fizikal ataupun maya. Keduanya, kita juga mempunyai satu usaha yang dinamakan eTRADE di mana kita memberikan geran dan juga latihan kepada syarikat-syarikat tempatan untuk mereka menyertai platform e-dagang merentasi sempadan. Ketiganya, Tuan Yang di-Pertua, kita juga mempunyai satu dana yang dinamakan sebagai Services Export Fund (SEF) untuk membatu pengeksport perkhidmatan untuk memasarkan perkhidmatan mereka di peringkat antarabangsa. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

Mohd Anuar bin Mohd TahirAMANAH · PHTemerloh · question

2. Datuk Wira Haji Mohd. Anuar Mohd. Tahir [Temerloh] minta Menteri Kerja Raya menyatakan pada awal Januari 2021, Lebuhraya Pantai Timur telah ditenggelami banjir pada lokasi-lokasi berikut KM84.6, KM84.7, KM113, KM126.3 dan KM198. Lokasi KM113 telah dua kali ditenggelami banjir. Kali pertama pada tahun 2014 dan kedua kalinya pada tahun 2021. Apakah tindakan yang telah diambil oleh kementerian supaya kejadian lebuh raya penting bagi hubungan ke Pantai Timur tidak terputus berhari-hari akibat banjir.

Dato’ Sri Haji Fadillah bin YusofPBB · GPSMenteri Kanan Kerja Raya · Petra Jaya

Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, bencana banjir yang berlaku pada Januari 2021 yang lalu telah menjejaskan beberapa daerah di negeri Pahang sehingga mengakibatkan banyak kawasan dinaiki air termasuklah Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang terputus hubungan akibat dinaiki air. Laluan LPT1 yang telah terjejas disebabkan bencana banjir adalah di KM84.7, KM113.4, KM115, KM126.4 dan KM198.9 yang terpaksa ditutup secara berperingkat kepada lalu lintas di antara 3 Januari 2021 sehingga 10 Januari 2021 kerana dinaiki air sedalam 750 milimeter sehingga 1,800 milimeter daripada aras jalan. Keamatan hujan di seluruh negeri Pahang yang tinggi dalam tempoh masa yang panjang di kawasan tadahan hulu seperti di Sungai Klau, Sungai Semantan, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai telah menghasilkan kuantiti aliran air yang sangat tinggi.

Dato’ Sri Haji Fadillah bin YusofPBB · GPSMenteri Kanan Kerja Raya · Petra Jaya

Keadaan ini menyebabkan sungai-sungai tersebut tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak dan mengakibatkan banjir ke kawasan persekitaran berhampiran termasuk sebahagian lebuh raya. Kesan banjir pada Sungai Pahang dan Sungai Semantan telah mengakibatkan sungai-sungai kecil seperti Sungai Klau, Sungai Sertik dan Sungai Jentar tidak dapat mengalir keluar dan menyebabkan kejadian backflow, dengan izin dan juga overflow ke kawasan persekitaran. Terdapat trend peningkatan nilai aras banjir semenjak pertama kali direkodkan di setiap kawasan yang terlibat kecuali di KM126. Faktor perubahan cuaca dan pembangunan di sekitar kawasan tadahan boleh menyumbang kepada peningkatan banjir. Aras air semasa banjir tahun 2021 telah melebihi aras Average Recurrence Interval (ARI), dengan izin, 100 tahun berdasarkan keputusan analisa menggunakan kaedah 2D river modelling yang dilakukan. Perkara ini berlaku berkemungkinan disebabkan oleh perubahan guna tanah, pengurangan kapasiti sungai dan perubahan iklim dunia. Lokasi dan tahun kejadian banjir di LPT1 ialah tahun 2007 ada tiga lokaliti iaitu KM84.7, KM113 dan KM115, pada tahun 2014 berlaku di KM124 dan KM126, dan tahun 2021 di lima lokasi iaitu KM84.7, KM113, KM115, KM126 dan KM198. Tindakan jangka pendek yang telah dilaksanakan seperti berikut: (i) pengurusan trafik berterusan dilaksanakan sepanjang tempoh banjir bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan betul kepada pengguna; (ii) kerja-kerja pembersihan segala kekotoran di atas jalan raya dilakukan sejurus air surut sebelum laluan dibuka sepenuhnya bagi memastikan keselamatan pengguna dan kelancaran perjalanan; dan (iii) menggunakan peralatan UAV bagi memantau keadaan kawasan tadahan yang berhampiran dengan lebuh raya. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi tindakan jangka panjang, pihak Lembaga Lebuhraya telah mengemukakan laporan terperinci dan juga memohon peruntukan dalam rolling plan kedua RMKe-12 bagi cadangan naik taraf aras Lebuhraya Pantai Timur 1 di beberapa buah lokasi yang ditenggelami banjir seperti KM84.6 hingga KM84.7, KM113, KM115 dan KM126.3.

Dato’ Sri Haji Fadillah bin YusofPBB · GPSMenteri Kanan Kerja Raya · Petra Jaya

Walau bagaimanapun, pihak kerajaan sedang meneliti cadangan tersebut daripada segi kaedah pelaksanaan yang terbaik dengan mengambil kira semua aspek iaitu teknikal dan juga kewangan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan kepada jawapan Yang Berhormat Menteri, rasanya Yang Berhormat Menteri sedar ataupun telah mengambil kira akan perubahan topografi yang memungkinkan kejadian serta kawasan baru banjir sepanjang sisi LPT1 dan LPT2 yang terbentuk akibat daripada pembangunan dan pembinaan projek mega infrastruktur pengangkutan misalnya. Tentu Yang Berhormat Menteri tahu tentang apa yang berlaku sekarang East Coast Rail Link (ECRL) yang tentu ada hubungannya terhadap topografi ini. Apakah jaminan dan langkah-langkah yang berkesan untuk memperbaiki keadaan ini? Bilakah hasil kajian ini— sudah tentu kajian mesti dibuat, boleh dilaksanakan mengatasi masalah banjir di lebuh raya. Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali saya ingin menyebut bahawa pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini ialah program merentas negeri dibenarkan, telah menyebabkan aliran trafik begitu tinggi meningkat dua kali ganda pada hujung minggu ini. Apakah berdasarkan pengalaman yang lalu sebelum pandemik kawasan R&R sering sesak dengan pengunjung? Sekali lagi saya bertanya, apakah langkah-langkah penguasaan standard operating procedure dengan izin, yang terbaik lagi

berkesan dilaksanakan bagi langkah pencegahan COVID-19 yang berkesan. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat, soalan terakhir itu ia tidak kena-mengena dengan soalan asal ya. Jadi saya roll out benda itu. Yang Berhormat Menteri, yang berkenaan sahaja.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya pun memang merasakan bahawa soalan kedua bukan dalam bidang kuasa kami tetapi kita akan bersiap sedialah daripada segi SOP. Untuk apa yang saya katakan tadi, daripada jawapan asas. Dalam setiap perancangan mana-mana pembangunan infrastruktur ia akan mengambil kira perancangan berdasarkan data 100 tahun. Misal katanya banjir, apakah kedudukan banjir paling tinggi 100 tahun yang lepas. Segala data itu akan diambil kira. Apabila kita merancang, membina, maka jalan itu mesti dibina pada paras yang melebihi daripada kejadian yang lepas. Cuma keadaan sekarang ini kita kena menerima realiti bahawa keadaan cuaca yang ekstrem, pembangunan persekitaran yang menyebabkan aliran air lebih laju dan sungai tidak mampu menampung jumlah hujan yang besar. Malahan kadang-kadang, hujan dalam tempoh satu hari jumlahnya adalah sama dengan sebulan. kadang-kadang setahun. Oleh sebab itulah maka berlaku banjir apatah lagi kalau berlaku musim monsun, maka tempoh banjir itu lebih panjang. Oleh sebab itu kita melakukan kajian berterusan. Untuk LPT1 ini sahaja insya- Allah, kita telah berbincang dengan syarikat konsesi untuk mencari penyelesaian jangka pendek dan juga jangka panjang bagaimana kita dapat mengadaptasi kepada keadaan cuaca yang tidak menentu pada waktu ini. Terima kasih.

Terima kasih. Ini mengenai jalan rosak apabila ditenggelami banjir. Apa yang saya ingin tahu daripada Yang Berhormat Menteri ialah jalan rosak secara umum, apakah SOP di JKR untuk memperbaiki jalan yang berlubang tidak kira lebuh raya ataupun jalan biasa? Adakah ada hotline yang tertentu semacam Yang Berhormat Menteri Wilayah Persekutuan, dia beri nombor handphone dia? Akan tetapi tentulah ia mungkin kurang sesuai untuk seluruh Malaysia. Apakah SOP pembaikan jalan bukan hanya banjir, ketika jalan-jalan itu rosak? Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Pontian. Untuk berlaku bencana, apabila berlaku jalan putus, jalan rosak akibat banjir kita memang ada saluran. Sebenarnya kita ada SOP di mana kita memberi jaminan kalau kerosakan itu hanya sekadar berlubang akan diberi jaminan untuk ditampung dalam tempoh 24 jam, tampungan sementara. Jalan yang rosak lebih teruk, ia akan mengambil masa. Mengambil contoh misal kata ada jalan terputus. Waktu banjir besar tahun— di Pantai Timur dahulu, di Terengganu tidak silap saya, jalan terputus. Apabila jalan terputus, apa yang kita lakukan bersama JKR dan Kementerian Pertahanan melalui askar, kita akan membuat apa yang dikatakan bailey bridge secara sementara untuk memastikan bahawa jalan itu dapat dilalui dalam tempoh dua minggu kita dapat siapkan. Itu langkah-langkah yang diambil. Untuk aduan, kita boleh mengadu melalui banyak saluran. Nombor telefon boleh, Facebook boleh, Twitter pun boleh. Malahan direct kepada saya melalui sosial media pun anytime insya-Allah, kita akan mengambil tindakan daripada segi apa sahaja aduan untuk keselamatan dan keselesaan pengguna. Terima kasih.

Beberapa AhliKetawa] Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak

[Bangun]

Mohon soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Maaf sudah dua. Silakan Yang Berhormat Kuala Krai.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya nak berpantun pagi ini untuk menceriakan pagi. Air adalah keperluan kehidupan, Perlu dinikmati rakyat sekeluarga, Menteri KASA yang budiman, Soalan saya nombor tiga.

Abdul Latiff bin Abdul RahmanPAS · PNKuala Krai · question

3. Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan apakah perkembangan terkini penyelesaian permasalahan air Kelantan dan pelan jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan ManPAS · PNMenteri Alam Sekitar dan Air · Kubang Kerian

Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Untuk makluman Dewan yang mulia, bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan 1.7 juta orang penduduk Kelantan mendapat akses kepada bekalan air bersih dan berkualiti. Daripada pemantauan yang dibuat oleh pihak kementerian, kita mendapati ada dua punca utama rakyat Kelantan tidak mendapat liputan bekalan air sepenuhnya, hanya 71.7 peratus yang mendapat bekalan air bersih. Punca utama ialah berpunca daripada sumber air di mana 15 dari 36 LRA yang telah pun dibina tidak mencapai kapasiti yang sebenar. Kedua ialah NRW agak tinggi, 61.1 peratus di Kelantan. Untuk perancangan di peringkat kementerian untuk jangka masa pendek ialah kita membiayai sebanyak RM664.8 juta bagi kerja-kerja perbelanjaan modal ataupun capex untuk Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi tempoh operasi keempat 2021–2023 iaitu antaranya ialah termasuk cadangan pembinaan tiga LRA baharu iaitu LRA Chicha fasa 2 kapasiti 40 juta liter sehari, LRA Tanjong Mas kapasiti 30 juta liter sehari, LRA Bukit Chupak berkapasiti 10 juta liter sehari. Pelaksanaan kerja-kerja ini dalam peringkat reka bentuk dan kita jangka akan dapat dimanfaatkan oleh pengguna menjelang tahun 2024. Keduanya ialah penukaran 511 kilometer paip uzur jenis AC secara berperingkat dengan anggaran kos sebanyak RM218 juta. Sehingga kini, sepanjang 106.2 kilometer paip telah pun diganti dan sepanjang 405 kilometer akan diganti secara berperingkat-peringkat. Untuk makluman Dewan yang mulia, terdapat 4.491 kilometer atau 55 peratus paip lama jenis AC daripada keseluruhan 8,139 kilometer di Kelantan. Kedua, pembinaan LRA Kampung Telok, Kota Bharu berkapasiti 30 juta liter sehari di bawah pembiayaan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan dijangka beroperasi pada hujung tahun ini, insya-Allah. Di samping itu juga, kita sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada hujung tahun ini ialah LRA Mini Teluk Mesira, Bachok di mana kapasiti dua juta liter sehari di bawah pinjaman pembiayaan daripada kerajaan negeri. Manakala Program Pengurangan NRW Kebangsaan melalui pendekatan satu, sebanyak RM69.95 juta dijangka siap pada tahun 2022. Skop kerja termasuklah pemasangan meter, System Input Volume (SIV), penggantian meter pengguna, pembaikan tangki dan penyediaan Geography Information System (GIS).

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan ManPAS · PNMenteri Alam Sekitar dan Air · Kubang Kerian

Untuk jangka masa panjang, kerajaan memperlihatkan dan memberi perhatian serius kepada isu penggunaan air permukaan berbanding air tanah. Untuk makluman Dewan yang mulia, Kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan yang dijangka mengambil masa selama 18 bulan, kita akan mula membuat kajian bagi pembinaan dua TAPS untuk negeri Kelantan yang dijangka mampu membekalkan dan menyelesaikan masalah sumber air kepada loji-loji yang sedia ada di Kelantan. Terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Yang Berhormat Menteri pernah menyebut berkaitan penilaian cadangan pembinaan takungan air pinggiran sungai (TAPS) dan loji rawatan air (LRA) di Labok dalam jajahan Machang. Bolehkah Yang Berhormat Menteri nyatakan kapasiti dan

anggaran kos, kawasan yang akan memanfaatkan pembangunan TAPS dan LRA ini serta jangkaan siap bagi membolehkan rizab Majlis Air Kelantan dapat dipertingkatkan. Adakah juga ia merangkumi kawasan Kuala Krai. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Untuk makluman Dewan yang mulia, kajian untuk menggunakan air ataupun TAPS dilakukan di Labok ataupun di jajahan Machang di kawasan timur Sungai Kelantan dengan anggaran kos lebih kurang RM1.8 bilion di mana pembinaan ataupun cadangan TAPS ini ialah untuk menyelesaikan bekalan air sebagaimana yang saya maklumkan dalam jawapan tadi dan keluasan yang akan diliputi untuk bekalan air adalah lebih kurang dalam 1,000 ekar yang telah pun dikenal pasti di peringkat kementerian dan kerajaan negeri. Secara keseluruhannya, pembinaan ini merangkumi tiga komponen. Pertama, TAPS lebih kurang RM650 juta dan Loji Rawatan Air serta paip agihan sebanyak RM1.103 bilion. Ini kita jangka dapat menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat seperti Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Tumpat , Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah dan sebagainya termasuk kawasan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat. Kita jangka dengan siapnya TAPS ini ia akan mampu meningkatkan rizab Majlis Air di Kelantan sebanyak 20 peratus. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Pulai.

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih peluang yang diberikan. Saya hendak ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri, satu video saya telah upload mengenai isu alam sekitar di kawasan Parlimen saya, Pulai iaitu Kampung Banjaran Kempas. Isunya adalah pembuangan sampah yang berlaku lebih daripada 10 tahun. Saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri kerana respons dan tahniah kerana keprihatinan. Jadi, kalau boleh berkongsi pada pagi ini apakah langkah-langkah yang konstruktif yang boleh diselesaikan kerana dah hampir lebih 10 tahun isu ini berlaku dan penduduk di situ sangat terkesan tentang wap ataupun vapor yang telah menimbulkan masalah kesihatan. Terima kasih.

Terima kasih sahabat saya, walaupun soalan ini lari daripada soalan asal. Pihak kementerian akan melakukan kerjasama dengan pihak kementerian KPLB dan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebab sisa domestik ini masih bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Isunya ialah aliran yang keluar dari tempat pembuangan sampah tersebut dan saya terbagi respons kepada Yang Berhormat. Insya-Allah tindakan segera bersama dengan Jabatan Alam Sekitar dan KPLB akan diambil dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Papar, 30 saat.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan Papar juga sama. Kami di Parlimen papar sentiasa berhadap pandangan masalah- masalah alam sekitar yang mana banyak tebing sungai yang runtuh yang melibatkan juga rumah-rumah rosak yang disebabkan oleh hujan dan juga banjir. Jadi, soalan saya ialah kita tahu macam mana untuk mengatasinya. Akan tetapi, permohonan yang telah kami buat selama ini bermula daripada tanggal bulan Jun 2020 sampai sekarang pun belum ada feedback, sama ada kami diberi perhatian ataupun tidak. Jadi, saya bermohon kepada Yang Berhormat Menteri, demi untuk kita sama- sama mengatasi masalah ini saya memohon kepada Yang Berhormat Menteri supaya memberi feedback kepada permohonan kami itu. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Menteri jawapan bertulislah ya.

Saya ingin memberi jawapan bertulis sebab ini pun lari daripada soalan asal. Insya-Allah saya akan jawab secara bertulis. Terima kasih.

Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh · question

4. Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] minta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan usaha yang dilakukan oleh LGM untuk menambah baik sektor perladangan getah sejak Yang Berhormat Kuala Nerus memegang jawatan Menteri daripada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021. Nyatakan usaha kementerian untuk membantu pekebun kecil getah.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSTimbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi II · Puncak Borneo

Selamat pagi dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Seputeh yang selalu begitu peka dengan kementerian MPIC dan sering bertanyakan soalan-soalan yang berkait rapat dengan kementerian ini. Saya faham sebagai mantan Menteri beliau memang begitu – selalu ambil tahu. Tuan Yang di-Pertua, sepanjang tempoh antara Mac 2020 sehingga Ogos 2021, kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan PKPD dan Pelan Pemulihan Negara dan oleh itu banyak sektor komoditi kita yang tidak dapat dijalankan secara keseluruhan ataupun full-force dengan izin. Bagi kelestarian sektor industri getah, kerajaan telah memberi kelonggaran kepada aktiviti tertentu seperti penorehan, pembelian, pemprosesan dan sektor pengilangan yang berkaitan dengan perubatan tertakluk kepada kelulusan MITI. Jadi, antara penambahbaikan sektor getah yang telah dilaksanakan dalam tempoh Mac 2020 sehingga Ogos 2021 adalah seperti berikut; Pertama, membangunkan koridor pengeluaran lateks negara di mana pada masa ini harga lateks ataupun susu getah domestik lebih tinggi daripada getah skrap ataupun cup lump. Di samping itu, permintaan lateks domestik turut meningkat bagi memenuhi keperluan industri pengilangan terutama sarung tangan getah. Oleh itu, bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara projek perintis Koridor Lateks Pantai Timur sedang dilaksanakan melibatkan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan juga Terengganu. Untuk tujuan ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM16 juta secara padanan pada tahun 2021. Kedua, kementerian juga memperluaskan penggunaan RRIMniaga di mana RRIMniaga adalah satu inovasi Lembaga getah Malaysia (LGM). Ia merupakan satu aplikasi telefon pintar yang digunakan untuk pembelian, merekodkan transaksi pembelian dan menjana resit pembelian secara automatik. Selain itu, kerajaan juga mempergiatkan hebahan dan kesedaran kepada pekebun kecil agar memohon insentif penoreh getah (IPG) agar ini dapat membantu mereka juga dan memodenkan penyampaian maklumat kepada pemegang lesen dan para pekebun kecil getah. Kita juga menggalakkan amalan tanaman integrasi di mana kita telah melakukan perkara ini iaitu integrasi getah dan nanas di LKAN Negeri Sembilan, getah, petai dan kelapa di Jerantut, Pahang dan juga integrasi durian dan getah di Sungai Buloh. Kita juga melancarkan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET). Untuk makluman, kejayaan industri sarung tangan juga telah dianggarkan sumbangan daripada pekebun kecil industri adalah sebanyak 6.5 peratus di mana ia membantu menaik taraf penjualan getah kita dan membantu penoreh kebun kecil getah negara kita. Sekian, terima kasih.

Puan Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Timbalan Menteri. Kita tahu pengeluaran getah pada tahun 2019 adalah 640,000 tan dan pada tahun 2020 ia jatuh kepada 530,000 tan. Jadi, ini bermaksud walaupun harga getah antarabangsa telah pun naik tetapi sebenarnya volume eksport kita ini telah pun jatuh dan sebenarnya pekebun kecil tidak dapat untung yang banyak daripada ini. Kita tahu pekebun kecil getah menghadapi banyak masalah seperti banyak pokok getah telah pun tua dan juga kekurangan pekerja asing kerana ramai penoreh getah tidak harus bergantung kepada pekerja asing untuk menoreh getah. Jadi, soalan saya ialah di bawah sektor getah, kita ada RISDA itu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah yang mana yang programnya termasuk penanaman semula pokok getah dan juga pemberian bantuan musim tengkujuh.

Puan Teresa Kok Suh SimDAP · PHSeputeh

Manakala di bawah Lembaga Getah Malaysia, ia juga ada program macam insentif pengeluaran getah yang bagi pekebun kecil subsidi bila harga getah telah pun jatuh dan LGM juga perlu melibatkan diri dalam bidang penyelidikan (research). Jadi, soalan saya ialah sekiranya kita mahu membantu pekebun kecil getah, sebenarnya yang RISDA ini haruslah berada di bawah MPIC. Saya hendak tolong Yang Berhormat. Supaya LGM yang mana tidak cukup kakitangan on the ground, pada kebun, RISDA ini boleh ada kerjasama yang lebih erat dengan pihak LGM kerana LGM tidak ada kakitangan yang cukup. Jadi, soalan saya ialah adakah kementerian ada perbincangan dengan Kerajaan Pusat dan juga Kementerian Pembangunan Luar Bandar supaya RISDA dan juga LGM ini, dua-dua mungkin berada dalam kementerian yang sama supaya kita lebih mudah bagi kerajaan sama ada MPIC ataupun Kerajaan Pusat untuk melaksanakan program untuk membantu pekebun kecil getah.

Tuan Yang di-Pertua

Kalau preamble itu...

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Terima kasih Yang Berhormat Seputeh.

Tuan Yang di-Pertua

Sebelum itu, saya hendak minta Yang Berhormat- Yang Berhormat yang tanya soalan tambahan, preamblenya itu kurang sedikit. Pergi kepada soalan. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Terima kasih Yang Berhormat Seputeh. Soalan yang begitu panjang, saya mendengar dengan penuh teliti dan kita memang mengambil maklum bahawa pengeluaran getah kita adalah tidak begitu banyak ketika ini dan juga eksport telah jatuh. Banyak juga pokok-pokok getah tua yang telah banyak yang tua dan tidak dapat ditoreh dan sebagainya. Juga saya menerima baik saranan daripada Yang Berhormat Seputeh di mana saya memang bersetuju bahawa kita kena ada kerjasama utuh di peringkat kementerian, di mana sekarang ini LGM adalah terletak di bawah KPPK dan RISDA di bawah KPLB. Sudah tentunya dengan sekiranya industri ini diletak di bawah satu kementerian, ia adalah satu yang baik tetapi kita juga ingin berbincang dengan KPLB di mana kita akan neutralize, macam mana kita hendak buat kerjasama. Saya juga mengambil maklum mengenai permasalahan yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Seputeh dan kita akan perhalusi. Untuk masalah pekerja asing di sektor pekebun kecil, sebenarnya masalah ini tidak terlalu besar kerana ramai daripada pekebun-pekebun kecil kita mengusahakan ladang-ladang mereka secara tersendiri di mana mereka menoreh dan memproses getah mereka secara sendiri sebelum dijual. Jadi, sebenarnya masalah pekerja asing ini tidak begitu besar seperti sektor sawit di mana it is still manageable. Untuk saranan tadi, saya mengambil maklum. Itu saranan yang begitu baik dan kita akan bawa kepada peringkat perbincangan di dalam kementerian. Sekian, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Okey Yang Berhormat Jempol.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan ini macam terkena dekat saya sedikit jadi selaku Pengerusi RISDA. Akan tetapi apa pun saya ingin menyentuh sedikit yang soal yang disebut tadi, sebenarnya LGM pun ada dalam pihak berkuasa, dalam board yang sama dengan RISDA. Jadi membangunkan pekebun kecil, jadi tidak ada masalah ia terletak di bawah KPLB. Soalan yang saya ingin nyatakan di sini ialah pekebun kecil getah ini adalah masalah yang cukup lama. Bukan hari ini. Ia telah berlarutan cukup lama. Isu yang paling ketara sekali ialah harga lantai atau paras harga pengaktifan. Harga yang ada sekarang ini adalah RM2.50 di mana tidak mampu untuk menyara— dalam 1.9 hektar dengan jumlah pendapatan hanya RM1,100. Jadi, apakah kementerian boleh meningkatkan harga lantai ini kepada RM3 sekilo mengikut pengeluaran insentif getah, convert ataupun bantuan musim tengkujuh kita akan bagi bulan November dan Disember ini, ia boleh tak convert bentuk bulanan agar ia dapat

menyara kehidupan rakyat pekebun kecil yang susah khususnya mereka berada di luar bandar. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Terima kasih sahabat saya dari Jempol. Sebenarnya kita mengambil maklum bahawa harga lantai ini memang kita lihat memang ia agak rendah tetapi ketika ini harga getah telah meningkat dan IPG pun tidak diaktifkan. Kita akan mengaktifkan IPG ini sekiranya harganya rendah daripada RM2.50. Untuk makluman Yang Berhormat Jempol dan juga semua Ahli Dewan, dalam tempoh yang sama, seramai 71,939 pekebun kecil telah menerima IPG iaitu melibatkan pembayaran sebanyak RM41.46 juta. Jadi, ini adalah satu jumlah yang begitu besar dan setakat ini kita di peringkat kementerian belum ada berkemampuan untuk menaikkan harga lantai kepada RM3. Namun begitu kita terbuka kepada perbincangan dan sekiranya kita berkemampuan dan mempunyai kedudukan kewangan yang selesa, kita akan melihat bagaimana kita ingin menyantuni dan membantu pekebun-pekebun kecil kerana hasrat kita dalam kementerian memang kita sejujur-jujurnya kita ingin membantu penoreh getah ini untuk mendapat pendapatan yang tinggi. Sekian, terima kasih.

[Soalan No.5 – YB. Dato’ Hajah Azizah binti Mohd Dun (Beaufort) tidak hadir]

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Yang Berhormat, untuk soalan 5 tidak dapat hadir, jadi saya terus menjemput Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof RawaAMANAH · PHParit Buntar

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Jika berada di tempat tinggi, Jangan jatuh sampai terjunam, Mari sama kita merendah diri, Mohon jawapan nombor enam. Sekian, terima kasih.

Mujahid bin YusofAMANAH · PHParit Buntar · question

6. Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan apakah usaha kerajaan untuk memastikan SDG terlaksana dalam semua dasar pembangunan bagi memastikan pemeliharaan alam sekitar.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan ManPAS · PNMenteri Alam Sekitar dan Air · Kubang Kerian

Terima kasih Yang Berhormat Parit Buntar yang membangkitkan isu usaha kerajaan untuk memastikan SDG terlaksana. Untuk makluman Dewan yang mulia, Malaysia sentiasa menyokong aspirasi agenda Sustainable Development Goals (SDG) yang telah diterima pakai di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semenjak September 2015. Agenda SDG ini secara amnya merangkumi dimensi berkaitan kemajuan masyarakat, kemiskinan, kesihatan, pendidikan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar. Ia bertujuan untuk membangun serta menjaga kemaslahatan manusia dan bumi. Oleh demikian, skop SDG yang terangkum 17 matlamat ini turut melibatkan pelaksanaan di pelbagai kementerian. Untuk sektor Kementerian Alam Sekitar dan Air, turut memastikan matlamat SDG yang berkaitan dengan kementerian diterapkan dalam pelaksanaan dasar-dasar di bawah kementerian terutamanya melalui Pelan Strategik KASA 2020-2030 yang berpaksikan kelestarian alam sekitar di Malaysia. Pelan strategik ini dibangunkan berpandukan tiga kerangka utama yang diterjemahkan kepada hala tuju dan strategi kementerian dalam tempoh 10 tahun bermula tahun 2020 hingga tahun 2030 iaitu Rancangan Malaysia yang

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan ManPAS · PNMenteri Alam Sekitar dan Air · Kubang Kerian

meliputi agenda kerajaan, dasar semasa kerajaan dan juga agenda pembangunan mampan negara melalui SDG. Pelan Strategik KASA 2020-2030 secara langsung telah menyumbang kepada pelaksanaan indikator tertentu di bawah enam daripada 17 matlamat SDG iaitu: (i) Matlamat Keenam: Air bersih dan kebersihan; (ii) Matlamat Kesembilan: Industri inovasi dan infrastruktur; (iii) Matlamat Kesebelas: Bandar dan komuniti yang lestari; (iv) Matlamat Kedua Belas: Penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab; (v) Matlamat Ketiga Belas: Tindakan iklim; dan (vi) Matlamat Keempat Belas: Kehidupan di bawah air. Kementerian telah pun integrasikan matlamat SDG yang tersebut dengan menetapkan 30 inisiatif di bawah Pelan Strategik KASA berdasarkan empat teras utama: (i) pengukuhan tadbir urus; (ii) pertumbuhan hijau; (iii) kolaborasi strategik; dan (iv) keterangkuman sosial. Tuan Yang di-Pertua, sebagai contoh KASA terlibat secara aktif dalam memastikan pelaksanaan beberapa indikator di bawah sasaran air bersih dan sanitasi iaitu sasaran keenam di bawah SDG. Pelaksanaan integrated water resources management (IWRM), dengan izin merupakan indikator yang diukur untuk menilai kejayaan negara dalam mengurus dan mentadbir sumber air secara holistik. IWRM merupakan satu kerangka atau framework, dengan izin atau proses yang mengkoordinasikan pembangunan dan perusahaan air, tanah dan sumber asli bagi meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem. Dengan pembangunan sosioekonomi Malaysia yang pesat, adalah penting bagi negara untuk memastikan hasil pembangunan tidak terjejas dengan impak perubahan iklim dan kejadian bencana, sekali gus memastikan pembangunan kita kekal mampan, bestari dan berdaya tahan iklim. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Soalan tambahan pertama.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof RawaAMANAH · PHParit Buntar

Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Menteri, saya ucap terima kasih kerana telah memberikan falsafah dan juga gambaran SDG tetapi apa yang lebih utama, medan yang kita hendak tumpukan dalam Dewan ini adalah bagaimanakah integrasi atau koordinasi keseluruhan kementerian.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof RawaAMANAH · PHParit Buntar

Saya berkata demikian Tuan Yang di-Pertua, soalan saya ialah di bawah ketika hendak melaksanakan dasar itu semacam satu bentuk yang tidak ada penyelarasan. Saya bagi contoh, kalau tentang kita kata pembangunan perikanan akuakultur contohnya. Mereka meredah hutan bakau yang telah digazet sebagai penampan daripada contohnya, tsunami. Kalau kita rujuk kepada industri, industri yang merosakkan alam sekitar terus diberikan sokongan dan dukungan. Oleh sebab itu saya menyatakan bahawa secara holistik, kementerian perlu memastikan bahawa bukan sahaja sektor-sektor air yang disebutkan tadi, tetapi keseluruhan pembiayaan kepada industri yang paling banyak menyumbang kepada kerosakan alam sekitar juga perlu diletakkan di bawah apa yang saya sebut dan saya namakan sebelum ini, dan telah diberikan satu kepentingan untuk menjaga alam sekitar

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof RawaAMANAH · PHParit Buntar

iaitu ESG iaitu pelaburan yang berdasarkan environmental, social dalam segi hak pekerja dan sebagainya serta governance yang melibatkan soal-soal tatakelola. Jadi, saya tidak yakin dengan jawapan yang diberikan. Minta maaf. Selagi saya tidak diyakinkan, ada satu jawatankuasa yang betul-betul menjadi dasar, bukan sebagai sektor-sektor dan kemudian diselaraskan. Bila turun di bawah, jadi haru-biru dan kita tak dapat melaksanakan SDG, apatah lagi sasarannya ialah 2030. Itu soalan saya untuk diberikan keyakinan lebih tentang bagaimana SDG ini benar-benar dijadikan dasar pembangunan mampan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih Yang Berhormat. Saya ingin menjelaskan bahawa di peringkat kementerian dan saya mengakui bahawa SDG bukan hanya satu atau dua kementerian yang terlibat. Banyak agensi dan banyak kementerian yang terlibat. Kita meletakkan polisi kepada sasaran yang ingin kita capai. Apa yang penting ialah pemantauan, pelaporan, penguatkuasaan, di samping tindakan undang- undang. Saya setuju bahawa satu mekanisme perlu dibina bagi memastikan SDG ini dapat dipatuhi oleh semua agensi dan kementerian. Setiap kementerian meletakkan sasaran yang perlu dinilai dan prestasinya perlu diukur menjelang tahun 2030 bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air. Kita ada enam daripada 17 dan bakinya ialah terletak kepada kementerian-kementerian lain. Kedua, oleh sebab kita ada persidangan COP26 yang akan berlangsung pada November ini dan kita dapati bahawa Malaysia terikat dengan beberapa pelaporan kita pada UNFCCC. Sehubungan dengan itu, mekanisme ke arah pematuhan ini lebih kukuh dibincangkan, buat pelaporan dan penilaian. Usaha-usaha ke arah itu sedang kita kuatkuasakan melalui pemantauan, pembentukan undang-undang dan sebagainya. Saya yakin bahawa dengan kerjasama semua pihak kementerian dan agensi serta pemantauan, pelaporan, penguatkuasaan dapat kita pastikan bahawa SDG dapat kita patuhi. Terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Dalam soalan berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar ini, dalam indikator SDG itu sendiri bahawa aspek pemeliharaan sungai adalah antara perkara penting yang perlu dilihat oleh kerajaan dan masyarakat sendiri. Dilihat bahawa sungai-sungai kita banyak yang tercemar dan sudah pun rosak daripada segi kualiti airnya. Jadi saya ingin bertanya, adakah pihak kementerian bercadang untuk menggerakkan kempen khususnya kepada Ahli-ahli Parlimen kita untuk menjaga sungai ini sebagai sungai angkat sepertimana yang dilakukan oleh Persatuan Sahabat Sungai yang telah digerakkan bersama oleh KASA? Terima kasih.

Terima kasih. Berhubung dengan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai, kita akui bahawa negara Malaysia beruntung kerana kita punyai lembangan sungai yang banyak, sedangkan ada negara dunia langsung tidak ada sebatang sungai pun. Lantaran itu, pihak kementerian mengambil serius soal sumber air. Dia bukan hanya untuk minuman, tetapi juga termasuk bekalan kepada pertanian. Serentak dengan itu, kerajaan ataupun KASA meletakkan sasaran untuk memastikan bahawa Denai Sungai Kebangsaan dilaksanakan sebanyak 10 ribu kilometer menjelang tahun 2050. Kita letakkan sasaran supaya Denai Sungai Kebangsaan ini menjadi mekanisme supaya setiap masyarakat, komuniti, NGO turut memelihara kawasan sumber air negara. Di samping itu, kita juga menguatkuasakan di bawah peraturan akta dengan membuat semakan kepada undang-undang dan akta yang sedia ada supaya sebarang elemen pencemaran sumber air kita dapat kita ambil tindakan yang lebih tegas termasuklah juga denda yang lebih tinggi dan mandatori penjara kepada mereka yang mencemarkan sumber minuman. Untuk makluman Dewan yang mulia, Kementerian Alam Sekitar dan Air telah pun mewujudkan suatu jabatan yang kita namakan UCJAS (Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar), bekerjasama dengan pihak polis, agensi-agensi lain supaya setiap pencemaran dapat kita kuatkuasakan. Sehubungan dengan itu, saya setuju dengan apa yang

dibangkitkan oleh Yang Berhormat bahawa kerjasama komuniti, masyarakat setempat termasuk para pelajar, mahasiswa dapat kita gerakkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat yang telah mengambil perhatian yang sangat serius untuk menjaga sungai di kawasan Parlimen masing-masing. Terima kasih.

Richard Riot anak JaemSUPP · GPSSerian · question

7. Dato’ Sri (Dr.) Richard Riot anak Jaem [Serian] minta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah langkah-langkah untuk menaikkan harga komoditi lada hitam, sawit dan getah.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSTimbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan komoditi II · Puncak Borneo

Terima kasih Yang Berhormat Serian selaku mantan Pengerusi Lembaga Lada Malaysia. Beliau juga sekarang ini Duta Khas ke Timur Asia. Tahniah kepada Yang Berhormat Serian. Tuan Yang di-Pertua, langkah-langkah untuk menstabilkan harga komoditi seperti mana yang kita lakukan pada ketika ini dalam sektor lada, sawit dan juga getah akan saya rungkai satu persatu. Untuk makluman Ahli-ahli Dewan, kita setakat ini mempunyai kedudukan harga komoditi yang amat baik di mana untuk harga CPO sawit kita telah mencecah RM5 ribu lebih dan ini adalah rekod yang tertinggi dalam sejarah negara industri sawit kita. Selain daripada itu, apabila kita mengambil alih sebagai kerajaan baharu, kita telah juga menerima lonjakan yang begitu tinggi terhadap harga lada daripada harga RM4 ke RM5. Hari ini harga lada hitam telah melonjak kepada RM17 sehingga ke RM18 untuk lada hitam dan lada putih ketika ini adalah RM27 ke RM28. Juga, harga getah kita telah meningkat lebih daripada RM2.50 di mana kita tidak lagi perlu mengaktifkan IPG untuk getah. Untuk sektor lada, langkah-langkah yang kita ambil adalah untuk meningkatkan penggunaan dalam negara ataupun domestic usage di mana kita juga telah membuat banyak produk hiliran. Di sini saya ingin menggesa kepada seluruh rakyat Malaysia supaya cintakan lada hitam kita, khasnya lada hitam Sarawak. Kita hendaklah menggunakan produk-produk hasil keluaran daripada lada sebab kalau kita tak guna, siapa lagi nak guna? So, kita kena tingkatkan penggunaan domestik kita dan kita jangan bergantung sangat kepada eksport sahaja. Kita juga menghasilkan produk berkualiti di mana kita mengeluarkan lada krim putih (creamy white paper) dan juga lada berkualiti eksport di mana kita keluarkan dan kita eksport lebih kurang dalam 60 peratus daripada pengeluaran lada negara kita iaitu pengeluaran kita pada ketika ini adalah 30.8 ribu tan metrik dan kita eksport sebanyak 60 peratus. Kita hendaklah menggesa supaya penggunaan domestik itu berlaku ataupun value added itu berlaku di dalam negara kita supaya kita boleh menikmati harga yang lebih baik. Selain daripada itu, kita juga menggiatkan aktiviti penjenamaan dan tambah nilai produk melalui Saras Spice yang kita akan activate the operation soon, dengan izin. Untuk sektor sawit, kita juga melakukan banyak penambahbaikan. Di sektor getah juga banyak penambahbaikan yang kita lakukan. Memandangkan masa tidak mengizinkan, saya akan extend jawapan saya secara bertulis kepada Yang Berhormat Serian kerana banyak langkah yang kita lakukan dalam tiga empat helai explanation. Jadi saya akan extendkan secara bertulis kepada Yang Berhormat Serian, sekian terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Soalan tambahan pertama.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan saya Tuan Yang di-Pertua simple tetapi penting iaitu mengenai pengagihan bantuan subsidi atau input. Ada orang yang tidak ada kebun tetapi diberi bantuan subsidi. Akan tetapi ada mereka yang mempunyai kebun dan benar-benar memerlukan bantuan subsidi tidak dapat apa-apa. Jadi saya ingin tahu apakah mekanisme yang akan diambil oleh kementerian untuk memastikan perkara sebegini tidak berlaku lagi? Sekian terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Terima kasih Yang Berhormat Serian. Soalan ini memang satu yang begitu baik dan memang ia terjadi. Saya memang akui sebab apabila saya masuk ke kementerian ini pada dua tahun yang lalu, saya dapati ada integriti data yang boleh kita question-kan atau kita boleh sanggah. Di mana apabila saya meneliti, I took the effort untuk melihat setiap data yang ada dalam sistem e-Pekebun, di mana data-data ini saya lihat satu persatu dan data ini sebanyak 38,000 pekebun lada di negara kita di mana 90 peratus adalah di negeri Sarawak. Di mana saya setuju ada data yang pekebun ini pekebun sebenar aktif dan ada yang tidak jadi pekebun lada, mereka menerima subsidi dan input pertanian. Di sini saya telah meneliti dan saya telah memberi feedback kepada Lembaga Lada Malaysia untuk white list atau menyenarai putih senarai-senarai ini dan dengan effort yang telah dilakukan, kita telah menyenaraikan putih daripada 38,000 kepada 35,000 di mana kita eliminate lebih kurang 3,000 senarai yang tidak betul. Kita juga menambah baik sistem e-Pekebun kita dan saya telah arahkan kepada Lembaga Lada Malaysia supaya arahkan pegawai-pegawai penyelia kawasan mereka untuk turun padang dan memastikan, verify dan ambil gambar koordinat untuk mereka mengenal pasti bahawa ini adalah genuine pekebun-pekebun kecil. [Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat] Oleh sebab itu, saya very committed untuk melihat perkara ini sebab saya rasa tidak adil bagi kita untuk memberi subsidi dan input pertanian itu kepada orang yang tidak mengusahakan ladang lada itu dan kita deny the rights of the people that really active in the industry. Banyak lagi perkara yang telah kita buat penambahbaikan dan saya— mungkin Yang Berhormat Serian boleh berbincang dengan saya. Saya boleh explain daripada A to Z sebab I am, myself is very passionate about this pepper industry.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik, Timbalan Menteri. Soalan tambahan yang kedua, saya jemput Yang Berhormat Bayan Baru.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Timbalan Menteri. Saya ingin follow-up dengan soalan Yang Berhormat Serian. Kita tahu bahawa pemberian subsidi input penuh dengan ketirisan dan selalunya orang yang mengusahakan tidak mendapat. Jadi saya hendak tanya pandangan Menteri, bolehkah kita mengubah daripada input subsidy kepada output subsidy kerana output subsidy itu betul-betul orang yang mengusahakan dapat dan dia akan dimotivasi untuk meningkatkan pengeluaran. Soalan kedua adalah kita tahu bahawa mungkin wujud kartel-kartel tertentu untuk memonopoli input subsidy? Jadi itu sebab petani yang susah tidak dapat subsidi yang diperlukan. Jadi adakah, saya tahu bahawa di banyak tempat termasuk kelapa sawit dan Kementerian Pertanian ada kartel-kartel tertentu, mereka jumpa dengan orang tertentu dia dapat. Kalau orang yang ikut proses undang-undang tidak dapat. Jadi ini berlaku dan saya hendak tanya bagaimana kementerian boleh membantu petani yang betul-betul memerlukan terutamanya petani pekebun kecil? Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru, sila Timbalan Menteri satu minit.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru. Setakat ini untuk sektor komoditi memang kita ada output subsidy iaitu produk yang berasaskan sektor getah di mana kalau mereka menjual banyak dan sekiranya harga itu di bawah harga lantai mereka akan mendapat IPG.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Akan tetapi, untuk komoditi lain seperti lada dan koko kita belum mempunyai perancangan untuk meletakkan output subsidy di mana kita memberi input subsidy secara baucar untuk input pertanian dan kita membantu daripada aspek-aspek program-program dan sebagainya pada ketika ini. Saya juga menerima feedback dan kita akan berunding di peringkat kementerian supaya kita dapat memperhalusi perkara ini dengan baik. Selain daripada itu, tuduhan mengenai kartel subsidi ini. Sebenarnya kita di peringkat kementerian kita telah melakukan satu inisiatif pendigitalan dan e-Enable di mana semua permohonan itu adalah secara talian dan di rekod secara terperinci di dalam data-data. Setakat ini saya tidak ada menerima kartel subsidi dan kita tidak berkompromi mengenai perkara ini dan saya telah beritahu kepada semua pegawai agensi supaya tidak melakukan perkara ini. Sekiranya ada berlaku Yang Berhormat Bayan Baru boleh membuat laporan kepada kami supaya boleh kami mengambil tindakan tegas. Saya tidak akan berkompromi dengan perkara ini supaya kita tidak menindas pekebun-pekebun kecil. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Pertanyaan jawapan lisan seterusnya saya ingin menjemput Yang Berhormat Puan Kasthuriraani a/p Patto.

Kasthuriraani a/p PattoDAP · PHBatu Kawan · question

8. Puan Kasthuriraani a/p Patto [Batu Kawan] minta Menteri Kesihatan menyatakan berapa jumlah vaksin Pfizer, Sinovac, AstraZeneca, Moderna, CanSino, Janssen dan Sinopharm yang telah dibeli dan kos pembelian tiaptiap jenis vaksin yang telah dibeli pada peringkat awal sehingga kini dan agihan vaksin mengikut pecahan negeri di Malaysia setakat ini.

Datuk Aaron Ago DagangPRS · GPSTimbalan Menteri Kesihatan II · Kanowit

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, bagi menjawab soalan Yang Berhormat Batu Kawan. Sehingga 13 September 2021, kerajaan telah menempah sebanyak 87.9 juta dos vaksin dengan anggaran kos RM4.64 bilion meliputi kos vaksin dan logistik vaksin. Perincian perolehan vaksin COVID-19 adalah seperti berikut saya baca dengan ringkas. Bagi AstraZeneca kita sudah tempah 64 juta dos, Pfizer 44.8 juta dos, AstraZeneca pro Universiti Oxford ini satu lagi AstraZeneca juga adalah 64 juta dos, Sinovac 20.4 juta dos, Cansino 3.5 juta dos, Gamaleya 6.4 juta dos, total 87.9 juta dos. Perolehan bagi vaksin Janssen adalah melalui COVAX Facility dan sehingga kini Kerajaan Malaysia masih menunggu pengesahan bilangan dos yang akan diterima oleh Kerajaan Malaysia daripada pihak COVAX. Manakala vaksin Moderna dan Sinopharm adalah tidak termasuk dalam portfolio perolehan vaksin bagi Program Imunisasi COVID ataupun PICK oleh kerana ia lambat sebab PICK sudah bermula lebih awal. Memandangkan Kerajaan Malaysia terikat dengan non-disclosure agreement (NDA) iaitu syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluaran vaksin. Maklumat- maklumat terperinci setiap kejadian tidak boleh didedahkan termasuk harga vaksin. Walau bagaimanapun, kos perolehan bagi setiap jenis vaksin telah dijelaskan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mesyuarat Khas Parlimen ke-14 yang diadakan pada 2 Ogos tahun ini. Berkenaan agihan vaksin mengikut pecahan negeri di Malaysia. Sehingga 8 Oktober 2021 adalah seperti berikut, saya akan baca yang sedikit sahaja, yang terbesar. Agihan terbesar adalah kepada Selangor 8.59 juta, di Johor 5.8 juta dos ini termasuk semua vaksin yang diagih kepada negeri-negeri seperti Pfizer, Sinovac, AZ dan Cansino dan keseluruhannya setakat 8 Oktober, five days ago, Pfizer sudah 28 juta dos, Sinovac

Datuk Aaron Ago DagangPRS · GPSTimbalan Menteri Kesihatan II · Kanowit

19.6 juta dos, AstraZeneca 3.6 juta dos, Cansino 279 ribu dos dan jumlah diagihkan 51.59 juta dos. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Soalan tambahan pertama. Sila, Yang Berhormat Batu Kawan.

Puan Kasthuriraani a/p PattoDAP · PHBatu Kawan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan tadi. Tuan Yang di-Pertua, tahun lepas, enam kanak-kanak telah mati akibat COVID- 19 tetapi tahun ini sehingga September, seramai 67 kanak-kanak yang telah mati akibat COVID-19. Saya ingin tahu di sini, apakah pendirian serta pendekatan Kementerian Kesihatan untuk kanak-kanak menerima vaksin yang berumur 12 tahun dan ke bawah? Ini kerana salah satu usaha untuk melawan pandemik ini bukan sahaja tertakluk kepada silver bullet vaksin tetapi untuk berdialog dan mendapat pandangan daripada ibu bapa. Bagaimana kita boleh mengadaptasi ke norma baharu ini kalau kita ada kanak-kanak yang belum menerima vaksin? Lagi satu soalan yang penting. Ini dibangkitkan oleh Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang kini bertugas dengan WHO iaitu kebimbangan vaksin nasionalisme. Di Malaysia, kita masih ada lagi kira-kira 10 peratus yang sama ada antivaksin tidak mahu menerima vaksin atau atas alasan kesihatan tidak dapat menerima vaksin. Kebimbangan itu adalah kalau 10 peratus, itu boleh menyumbang kepada virus yang bermutasi, mutated version of the virus if you don’t have everyone vaccinated. Apakah pandangan dan pendirian daripada Kementerian Kesihatan? Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Satu minit.

Datuk Aaron Ago DagangPRS · GPSKanowit

Ya, ada beberapa soalan telah dimajukan. Berkenaan dengan vaksin kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, kerajaan belum lagi memutuskan vaksin ini sebab kita masih menunggu clinical evidence dari luar negara dan juga daripada kajian kita sendiri. Daripada kematian yang disebutkan tadi disebabkan COVID-19, memang ada tetapi kita difahamkan disebabkan vaksin belum ada, tak ada, masih zero. Berkenaan dengan antivax yang dikatakan 10 peratus daripada population Malaysia, ini adalah angka boleh didebate. Tetapi kerajaan sekarang ini telah pun mengadakan pelbagai SOP dan walaupun kita tidak wajibkan tetapi kita menggunakan various strategy. Satu yang amat ketara adalah kita perlu melihat di semua premis perniagaan ataupun tempat dining dan sebagainya. Sesiapa yang mahu masuk dan pergi ke tempat itu memerlukan dua dos vaksin. Itulah satu daripada kekangan kepada mereka yang tak ada vaksin ini. Ini adalah sebagai satu cara yang kita telah sampaikan kepada rakyat semua. Terima kasih.

Kuala Krai.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Pertanyaan tambahan yang kedua. Saya jemput Yang Berhormat Tumpat.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.

Tuan Che Alias bin HamidPAS · PNKemaman

Booking awal tak dapat juga.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan khusus mengenai jumlah pelbagai vaksin yang telah dibeli oleh kerajaan.

Soalan tambahan saya adalah mengenai isu kebenaran booster dose yang menjadi perhatian ketika ini. Apakah kerajaan meletakkan satu timeline khusus terhadap pemberian booster dose ini dan jangkaan pencapaian vaksinasi dos tambahan ini?

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Datuk Aaron Ago DagangPRS · GPSKanowit

Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, booster dose ini memang banyak dibahaskan sekarang ini. Bagi Malaysia, kita telah lebih kurang membuat keputusan tetapi masa belum dapat ditetapkan, tetapi kita akan memberi booster dose ini kepada healthcare workers dan mereka yang lebih daripada 60 tahun yang ada comorbidity. Booster dose ini adalah untuk meningkatkan imuniti mereka. Sekarang ini kita belum meneruskan pelaksanaan ini sebab kita masih menunggu untuk kumpulan remaja dan sebagainya dan juga kita mengikut kehendak dunia di mana di bawah COVAX, negara-negara yang masih ketinggalan daripada segi vaccination ini perlu diberi keutamaan juga untuk mendapat vaksin lebih banyak. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Idris bin JusohUMNO · BNBesut · question

9. Dato' Seri Haji Idris bin Jusoh [Besut] minta Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyatakan inisiatif yang diperkenalkan dalam mengaplikasikan penggunaan teknologi dan mekanisasi khususnya bagi menangani isu kekurangan buruh asing dalam sektor perladangan kelapa sawit dan getah.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSTimbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi II · Puncak Borneo

Terima kasih Yang Berhormat Besut atas soalan mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian di sektor agrikomoditi. Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat yang dalam Dewan, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian di sektor agrikomoditi adalah seperti berikut. Pertama, kita membangunkan modal insan melalui kursus yang ditawarkan oleh Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia ataupun dikenali sebagai IMPAC. Pembangunan modal insan bagi melahirkan tenaga mahir di kalangan belia tempatan amat penting dalam sektor agri komoditi bagi memastikan sektor ini terus berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di samping dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Selain daripada itu, kita juga menggunakan teknologi mekanisasi di sektor agri komoditi khasnya di sektor getah dan juga sawit. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sidang Ahli Dewan, sebenarnya kita telah banyak mencipta ataupun innovate mesin-mesin dan juga teknologi-teknologi baharu untuk membantu industri agri komoditi kita. Akan tetapi, kita mempunyai masalah. Sebenarnya di ladang-ladang sawit kita ini, industri ini sudah lebih daripada 100 tahun. Kebanyakan pokok-pokok ini ditanam di tanah yang topologinya tidak begitu konsisten. Ada yang mendatar, ada yang cerun dan sebagainya. Jadi, kebanyakan inovasi-inovasi mesin-mesin yang kita buat ini juga tidak boleh dipakai di tempat-tempat yang sedemikian. Oleh itu, kita perlu revamp ataupun kita perlu perkemaskinikan cara-cara penanaman kita dan kawasan-kawasan itu kenalah boleh diguna mekanisme mesin- mesin. Sebab setakat ini, banyak ladang-ladang yang cerun. Kita ada teknologi tetapi kita tidak boleh guna sebab ia tak sesuai. Itu salah satu daripada masalah kita dan sebab itu kita masih bergantung kepada tenaga kerja. Selain daripada itu, kita juga adakan Skim Insentif Mekanisasi Sawit (OPIMIS), kita juga menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) untuk membantu mengeluarkan ciptaan-ciptaan baharu untuk membantu kita dalam industri sawit. Di sektor getah pula, kita mempunyai mesin Automatic Rubber Tapping System (ARTS). Kita sudah mempunyai teknologi tetapi memandangkan teknologi ini harganya atau kosnya terlalu tinggi, maka setakat ini aplikasi di peringkat ladang tidak memuaskan. Kita ambil maklum perkara ini.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSTimbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi II · Puncak Borneo

Namun begitu, di peringkat ladang getah, kita tidaklah mempunyai masalah yang begitu besar kerana kita tidak terlalu bergantung sangat kepada pekerja asing sebab pekebun-pekebun kecil mengusahakan ladang-ladang mereka secara sendiri. Kita komited akan terus membuat penambahbaikan demi kemapanan industri ini. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Soalan tambahan pertama. Sila, Yang Berhormat Besut.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya jangka dengan peningkatan yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam RMKe-12 di mana R&D telah dipertingkatkan daripada satu peratus kepada 2.5 peratus, kita jangka lebih banyak lagi akan dapat dilaksanakan oleh kementerian. Soalan saya. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian untuk meningkatkan lagi pembangunan teknologi baharu di dalam perladangan?

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Satu minit.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Okey, soalan tambahan yang baik. Sebenarnya untuk meningkatkan penambahbaikan di peringkat ladang, kita juga ingin melihat bagaimana sektor perladangan dan pertanian dapat mengurangkan masalah kebergantungan kepada tenaga asing. Kita di peringkat kementerian, pertama, kita sarankan automasi ataupun automation. Kedua, kita juga menggalakkan pekerja-pekerja asing daripada sektor lain yang bukan sektor perladangan untuk menukar sektor supaya mereka dapat bekerja di dalam sektor perladangan kita tanpa mereka balik ke negara asal mereka. Mereka dapat terus bekerja di sini, cuma mereka perlu menukarkan sektor. Ketiga, kita juga berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia dan juga pihak KDN dan kementerian kita supaya kita dapat membawa masuk kuota pekerja- pekerja asing supaya dapat membantu industri kita. Saya memang betul-betul hendak membantu membawa pekerja asing ini untuk membantu industri kita. Sebab, apa yang berlaku di dalam kawasan di peringkat akar umbi, walaupun kita tidak benarkan― mungkin ada satu, dua ladang yang membawa pekerja-pekerja haram ataupun pekerja- pekerja pendatang tanpa izin.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Jadi, daripada mereka hire pekerja tanpa izin, bagus kita lesenkan pekerja itu supaya mereka lebih bekerja dengan selesa. It is because even though we don’t provide a legal foreign worker, mereka masih melakukannya di peringkat ini. So, what is the difference? So might as well we give a license. Oleh seba itu saya hendak perkara ini benar-benar berlaku dan kita minta semua kerjasama daripada kementerian lain, khasnya Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri supaya dapat mempercepatkan perkara ini supaya kita dapat selesaikan untuk industri. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan yang kedua, saya jemput Yang Berhormat Kluang.

Puan Wong Shu QiDAP · PHKluang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi sudah menyatakan bahawa kita betul- betul ada teknologi. Akan tetapi di sini kita menghadapi masalah iaitu topology on the ground. Jadi robot atau teknologi yang kita pakai sekarang mungkin tidak dapat mengatasi masalah lagi. Akan tetapi pada zaman abad 2021 ini kita sudah boleh hantar manusia ke bulan, takkan kita tidak dapat selesaikan masalah ini di Malaysia. So, saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, berapa kita berbelanja setiap tahun untuk ciptaan mesin-mesin baharu. Bolehkah kita memberi dan menawarkan geran yang lebih besar seperti di bawah MITI, Smart Automation Grant (SAG), geran automasi pintar dan kita menawarkan satu geran yang lebih besar lagi,

Puan Wong Shu QiDAP · PHKluang

jumlah yang lebih besar bagi khasnya syarikat yang buat servis kepada peladang- peladang kecil untuk meningkatkan teknologi-teknologi yang mereka pakai. Ini kerana kalau kementerian tidak berbelanja lebih besar untuk menggalakkan syarikat yang buat servis, yang buat pembajaan dan memetik buah sawit untuk meningkatkan teknologi yang mereka pakai, tidak akan mencapai apa yang kita nak capai di sini. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Kluang. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri satu minit.

Datuk Willie anak MonginPBB · GPSPuncak Borneo

Terima kasih Yang Berhormat Kluang. Soalan yang begitu panjang. Saya mendengar dengan teliti dan banyak perkara yang telah dirungkai dan telah appended to us. Salah satu daripadanya adalah kos inovasi dan yang kedua adalah untuk menyarankan supaya geran yang lebih besar diberi kepada syarikat-syarikat pencipta. Yang Berhormat Kluang, buat ketika ini saya tidak ada maklumat mengenai jumlah kos yang sebenar. Namun begitu saya akan meminta kementerian untuk membuat pengiraan dan akan menjawab Yang Berhormat Kluang secara bertulis. Untuk geran yang lebih besar, saya bersetuju dengan saranan Yang Berhormat Kluang di mana kita memerlukan geran yang lebih besar untuk membuat inovasi. Akan tetapi saya teliti di kementerian, banyak inovasi yang kita buat sekarang ini kadang- kadang harganya terlalu mahal dan is not commercially viable untuk digunakan oleh pemain-pemain industri dan juga pekebun-pekebun kecil kita. Jadi kita akan melihat dan menimbang tara perkara ini, kos yang tinggi, inovasi dan kemampuan pengguna untuk menggunakan. Kita akan melihat dan peringkat ini kita akan bincangkan lebih terperinci. Saya di peringkat kementerian kita belum ada jalan penyelesaian setakat ini. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Pertanyaan jawab lisan seterusnya saya ingin menjemput Yang Berhormat Kangar.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jika mahu menjadi masyarakat maju, Institusi keluarga mestilah utuh, Minta Menteri jawab dan bantu, Soalan saya nombor sepuluh.

Noor Amin bin AhmadPKR · PHKangar · question

10. Tuan Noor Amin bin Ahmad [Kangar] minta Perdana Menteri menyatakan berapa kes perceraian berlaku sejak Mac 2020 hingga kini.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti SamsudinBERSATU · PNTimbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- undang) · Masjid Tanah

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bilangan kes perceraian bagi golongan bukan Islam di seluruh Malaysia yang difailkan bagi tempoh bulan Mac 2020 sehingga Ogos 2021 adalah sebanyak 10,346 kes. Daripada jumlah ini, negeri Selangor mencatatkan bilangan kes yang tertinggi iaitu sebanyak 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur 2,893 kes dan juga Perak sebanyak 1,209 kes. Perincian mengikut negeri adalah seperti berikut: |Negeri|Jumlah kes| |------|---------:| |Kedah | 76| |Perak | 1209| |Perlis| 41|<END_TABLE_MARKER>

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti SamsudinBERSATU · PNTimbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- undang) · Masjid Tanah

| Pahang | 386 | |---------------|----:| |Melaka | 449| |Johor | 1197| |Negeri Sembilan| 861| |Kelantan | 45| |Terengganu | 49| |Jumlah |10346|<END_TABLE_MARKER> Manakala bagi kes permohonan cerai yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia sejak Mac 2020 sehingga Ogos 2021 untuk golongan beragama Islam yang dijana melalui sistem E-Syariah adalah sebanyak 66,440 kes keseluruhan. Daripada jumlah ini, negeri Selangor mencatatkan daftar kes permohonan cerai tertinggi iaitu sebanyak 12,479 kes, diikuti negeri Johor 7,558 kes dan Kedah sebanyak 5,985 kes. Perincian mengikut negeri adalah seperti berikut iaitu: | Negeri |Jumlah kes| |-------------------|---------:| |Kelantan | 5982| |Melaka | 2402| |Negeri Sembilan | 3473| |Pahang | 5058| |Perak | 5921| |Perlis | 1081| |Pulau Pinang | 2978| |Sabah | 4010| |Sarawak | 561| |Terengganu | 5098| |Wilayah Persekutuan| 3854|<END_TABLE_MARKER> Namun begitu Tuan Yang di-Pertua, statistik dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ini hanya menunjukkan bilangan kes permohonan cerai yang difailkan dan bukan bermaksud semua kes permohonan ini diluluskan dan berakhir dengan penceraian. Pendaftaran kes cerai bagi masyarakat Islam adalah di bawah kawalan dan bidang kuasa Jabatan Agama Islam. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih. Soalan tambahan sila Yang Berhormat Kangar.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sebenarnya banyak soalan yang boleh ditanyakan daripada jawapan ini. Cuma keprihatinan saya ialah ketika berlaku pandemik COVID-19, ramai rakyat Malaysia tidak kira yang Muslim ataupun bukan Muslim menghadapi tekanan kewangan dan ini mungkin salah satu faktor terbesar berlaku kes-kes perceraian. Saya mungkin hendak minta sedikit perbandingan daripada segi kenaikan sekiranya agak besar berbanding dalam keadaan biasa. Saya juga hendak tahu apakah sistem sokongan yang diberikan oleh kerana apabila bercerai ini sudah tidak boleh duduk serumah, anak-anak mungkin mendapat tekanan mental ataupun psikologi. Jadi, apakah bentuk sokongan yang disediakan oleh kerajaan dalam keadaan pergerakan yang terbatas.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Kangar. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Terima kasih Yang Berhormat atas soalan dan juga keprihatinan yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat Kangar. Untuk makluman Yang Berhormat dan semua Ahli Yang Berhormat yang ada di dalam Dewan ini, untuk makluman, kes perceraian untuk yang bukan beragama Islam dan kalau pukul rata lebih kurang satu hari ada kes lebih kurang 18 kes. Bagi yang beragama Islam permohonan cerai satu hari lebih kurang 21 kes. Dalam satu jam lebih kurang lima orang yang memohon untuk cerai. Sedang kita bercakap di dalam Dewan ini ada orang yang tengah mohon cerai. Maksudnya begitu dalam dia punya konteks suasana itu. Kita pun risau. Jadi sebab itu Yang Berhormat, saya percaya walaupun bukan dalam konteks ataupun bidang kuasa di bawah Parlimen dan undang-undang tetapi saya percaya banyak sistem sokongan yang berada bukan sahaja di bawah kementerian ini tetapi juga banyak di dalam bahagian ataupun kementerian lain yang telah dilakukan untuk sama-sama memberikan sokongan kepada pasangan-pasangan ini supaya mereka dapat bukan sahaja dari segi mental tetapi dari segi bentuk sokongan keluarga untuk mereka meneruskan kehidupan dan juga berhadapan dengan pelbagai masalah terutama sekali pandemik. Terima kasih Yang Berhormat.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan yang kedua saya jemput Yang Berhormat Dungun.

Ya terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Persoalannya kita bincang tentang perceraian ada data tetapi soal bagaimana kadang-kadang perpisahan keluarga itu hanya dengan semata-mata ayah atau suami meninggalkan keluarga tersebut dan anak-anak dalam keadaan boleh diistilahkan mungkin jadi ibu tinggal atau keluarga yang ditinggalkan. Jadi, apakah peranan yang dimainkan untuk melihat isu ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Okey. Di mahkamah, kita ada maksudnya pentadbiran dan juga pengurusan kes. Kita juga melihat bagaimana perkara- perkara yang boleh kita lakukan dan juga untuk mendengar kes-kes tersebut. Saya percaya sebagaimana yang telah pun difailkan dan begitu juga dengan Jabatan Agama Islam dan juga untuk yang bukan Islam telah pun diuruskan untuk mereka melihat tentang permohonan-permohonan ini. Kita pun tidak suka sekiranya pasangan-pasangan ini untuk meneruskan perceraian. Tadi saya hendak betulkan saya punya maklumat. Untuk permohonan perceraian yang beragama Islam bukan 21 kes tetapi 121 kes dalam satu hari. Yang Berhormat pun risau kan. Jadi sebab itulah kita melihat, kita harus gembleng tenaga bersama-sama dan peranan yang dimainkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat juga penting dalam untuk memakmurkan bukan hanya untuk menggalakkan mereka untuk membantu ibu tunggal, ibu tinggal ini tetapi juga untuk sama-sama sokongan yang diberikan untuk mereka, terutama sekali dalam waktu pandemik ini supaya mereka dapat channel kepada tempat yang benar, supaya mereka mendapat advise dan bentuk sokongan yang betul. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih.

Puan Hannah YeohDAP · PHSegambut

Soalan tambahan, Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Tidak apa, saya akan habiskan di sini. Ahli-ahli Yang Berhormat...

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak minta– sebab tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri jawab banyak usaha digemblengkan. Boleh tidak saya minta jawapan bertulis, banyak itu apa dia, sebab banyak ini sangat abstrak.

Boleh Yang Berhormat. Boleh, nanti kita akan berikan secara bertulis.

Puan Hannah YeohDAP · PHSegambut

Satu lagi soalan tambahan, tidak boleh?

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Saya bagi peluang lagi soalan tambahan yang ketiga daripada Yang Berhormat Segambut, sila.

Puan Hannah YeohDAP · PHSegambut

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Statistik sangat tinggi dan saya hendak bertanya apakah trigger system kerana hari itu saya tanya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat saya tidak dapat jawapan. Apakah trigger system. Apabila ada kes perceraian okey, adakah kaunselor di Kementerian Pendidikan Malaysia ataupun kaunselor di sekolah akan diaktifkan untuk setiap kes yang melibatkan kanak-kanak. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah memberi jawapan bertulis kepada Yang Berhormat Segambut. Jangan menyalahkan kementerian KPWKM.

Puan Hannah YeohDAP · PHSegambut

Tidak ada, jawapan itu tidak menjawab kepada soalan. Jadi sekarang saya tanya Yang Berhormat Menteri yang berbeza, kenapa pula Yang Berhormat Timbalan Menteri kena bangun?

[Dewan riuh]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik, tidak apa. Terima kasih.

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Yang Berhormat Timbalan Menteri, jawablah.

Yang Berhormat Segambut, terima kasih kerana Yang Berhormat Segambut sentiasa prihatin terhadap kanak-kanak dan juga wanita. Begitu juga saya ucapkan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, Yang Berhormat Rantau Panjang yang telah pun menyatakan telah pun memberikan jawapan secara bertulis. [Tepuk] Akan tetapi, saya juga akan melihat dan akan membantu juga untuk maklumat secara bertulis tambahan kepada Yang Berhormat nanti.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih.

Puan Hannah YeohDAP · PHSegambut

Sebenarnya soalan saya simple sahaja. Saya tanya, adakah sistem untuk kita aktifkan untuk hubungi sekolah, kaunselor sekolah, itu sahaja.

Mana boleh berdialog macam ini, berdialog ini.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Segambut, saya tidak benarkan pertanyaan tambahan. Itu yang tiga sudah cukup sudah. Saya sudah bagi masa sudah. Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri, habis sudah?

Saya sudah jawab tadi.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik, Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada hari ini. Ya, ada usul. [Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Tuan Yang di-Pertua, peraturan mesyuarat.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Ada usul. Sila, usul. Usul 12(1) silakan.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

12(1) sila usul.

Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Timbalan Menteri, usul?

Usul — Waktu Mesyuarat Dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan MesyuaratMotion

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti SamsudinBERSATU · PNTimbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- undang) · Masjid Tanah

Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan Majlis Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga dibahas dan diputuskan Usul Perdana Menteri D.R. 24/2020 Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 dan Usul Menteri Kewangan di nombor 1 hingga 4 dalam Aturan Mesyuarat dan Usul-usul hari ini dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang tidak ditetapkan.”

Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin GhazaliUMNO · BNTimbalan Menteri Kesihatan I · Bagan Serai

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.

[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]

Rang Undang-Undang Dibawa Ke Dalam Mesyuarat — RANG UNDANG-UNDANG ORDINAN PEGUAM BELA (SABAH) (PINDAAN) 2021 Bacaan Kali Yang PertamaBill

Rang Undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Ordinan Peguam Bela (Sabah); dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) [Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]; dibaca kali yang pertama; akan dibaca kali yang kedua pada Mesyuarat Kedua.

Usul Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Di Bawah P.M.76 — Pelantikan YB Tuan Lim Guan Eng Sebagai Ahli Jawatankuasa PemilihMotion

Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku JaafarPBB · BNMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) · Santubong

Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 76, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya mohon mencadangkan supaya Ahli Parlimen Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih di bawah Peraturan Mesyuarat 76 untuk tempoh Parlimen Keempat Belas, bagi menggantikan Yang Berhormat Dato' Seri Hamzah bin Zainudin, Ahli Parlimen Larut.” [Tepuk]

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan I · Paya Besar

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah Nombor 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul hari ini hendaklah disetujukan.

[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Tuan Yang di-Pertua, point of order.

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Tuan Yang di-Pertua, point of order.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Saya sudah berdiri awal.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik, sebelum okey. Sila, Yang Berhormat Port Dickson.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Terima kasih. Perkara 43 Peraturan Mesyuarat. Saya telah mengemukakan kepada Tuan Yang di-Pertua semalam untuk membetulkan keputusan ataupun– setelah Tuan Yang di-Pertua buat keputusan tentang menolak usul mengenai perbahasan Pandora Papers saya telah kemukakan mengikut Perkara 43, pengecualian diberikan. Saya belum mendapat jawapan tetapi saya hendak menegaskan di sini. Semalam Yang Berhormat Menteri Kewangan ada menyebut bahawa Bank Negara Malaysia bersedia untuk memberi kerjasama kepada semua agensi penguat kuasa atau penyiasatan. Akan tetapi, belum ada sebarang kenyataan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia terutama Bahagian Commercial Crime dan juga SPRM. Tuan Yang di-Pertua, daripada 19.9 juta dokumen Pandora Papers 119,000 dokumen terkait dengan warga Malaysia. Sebahagian besarnya daripada segi jumlah yang disimpan atau disorok dan diambil dari negara ini di pusat-pusat tax haven ini termasuk Virgin Island, Cayman Island dan juga Singapura. Kalau di Singapura itu kalau kita mengambil inisiatif dia ada Double Taxation Agreement (DTA) di antara Malaysia dan Singapura. Soalnya, mengapa tidak boleh kita bangkitkan hal-hal ini di Parlimen supaya menggesa agensi terlibat yang saya sebutkan tadi. SPRM biarlah ambil inisiatif proaktif

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

sedikit kemudian Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Commercial Crime, Polis. Sekiranya dirujuk kepada Singapura ada bahan-bahan yang boleh kita tuntut kerana ramai pembesar-pembesar, tokoh-tokoh politik sebelum sampai ke Virgin Island, Cayman Island, tax haven, dia guna Singapura sebagai pusat menyimpan dana besar. Soalnya kalau mereka tidak bersalah, mereka boleh jelaskan...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Akan tetapi, tidak mungkin pertahankan wang ratusan juta dalam satu akaun di tax haven. Timbalan Yang di-Pertua, saya tekankan perkara ini, nampak kerana ada keengganan di kalangan political elite malah elit umumnya untuk membahas. Seperti kita tahu umpamanya pihak kerajaan, saya belum dengar satu suara yang meminta supaya ini disiasat bukan menghukum... [Tepuk]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Bagi saya, sepertimana saya sebut ini aneh. Kalau betul kita hendak perjuangkan nasib rakyat Malaysia, kalau kita ini jaguh orang Melayu apakah mungkin budaya Melayu itu mengizinkan rompakan kekayaan begitu besar, hasilnya disebut sama ada yang perniagaan yang halal atau rasuah atau pembalakan ataupun drug trafficking ataupun human trafficking. [Tepuk] Semua itu disebut di senarai dan dicerakin sebelumnya oleh Global Financial Integrity Report dan sekarang dalam Pandora Papers. Tuan Yang di-Pertua, hal ini saya tegaskan tadi belum dengar daripada sama ada pejuang Melayu dan juga pejuang Islam.

[Dewan riuh]

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

[Tepuk] Jadi bagi saya, ada percanggahan di antara apa yang dilaungkan sebagai jaguh pertahankan hak [Dewan riuh] tetapi kita mengizinkan kebatilan.

[Dewan riuh]

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Negara miskin yang menganggur dah jadi jutaan. Yang kelaparan ramai, tetapi dalam pada itu pemimpin-pemimpin memunggah ratusan juta dan sistem kerajaan yang ada ini seolah-olah memadam dan melindungi mereka. [Tepuk] Saya buat tuduhan yang jelas kerana hal ini kita suarakan dari Global Financial Integrity Report 2012. Sampai sekarang tidak ada tindakan. Pada tahun 2012, Bank Negara ada sebut sedikit sahaja tentang kita siasat dan tidak semuanya tepat. Tidak apa. Dia tak letak RM1 trilion, RM100 bilion umpamanya. Akan tetapi siasatlah.

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Yang Berhormat Port Dickson, janganlah rasa cemburu. Kita hendak belajar macam mana hendak cari duit.

[Dewan ketawa]

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Saya empat penggal di Parlimen tidak ada berjuta duit.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Kota Raja...

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Saya tengok ada Menteri yang ada RM900 juta dalam bank, RM2 juta wang poket.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik.

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Saya hendak belajar macam mana hendak cari duit itu.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik Yang Berhormat Kota Raja, baik.

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Yang Berhormat Port Dickson ini cemburu sangat kenapa? Kita hendak belajar bagaimana hendak cari duit begitu mudah, ratusan juta apabila menjadi Menteri. Saya hendak belajar.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Kota Raja sila duduk.

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Saya tak reti.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Saya hanya benarkan Peraturan Mesyuarat 43 tadi...

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Yang Berhormat Port Dickson, Tuan Yang di- Pertua...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

43 bukan perbahasan...

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Saya akan mengakhiri— pencelahan. Betul-betul ya. Akan tetapi saya simpati Yang Berhormat Kota Raja kerana dia tahu mesti ada kecanggihan, kepakaran, keterampilan, kepintaran untuk membuat perompakan cara canggih begini. Orang yang menggunakan proses ini— melalui proses ini, memang ada kepakaran tertentu. The best lawyers, the best accountants, of course led by the great crooks. Saya nasihatkan sahabat saya janganlah belajar hal ini kerana kesannya orang Islam akan merempat, orang Melayu akan susah, negara akan muflis, hancur.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih Yang Berhormat Port Dickson. Baik, Yang Berhormat Port Dickson— ha...

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, saya hendak sebut di sini kita...

Guna [Tidak jelas] .

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

...Usul 43 ini, saya minta supaya diberikan ruang kita sampaikan dan supaya kerajaan beri jaminan mengarahkan semua agensi ini siasat. Bukan untuk dia hukum, tetapi untuk kerajaan, untuk elit politik, padam di media, padam di Parlimen dan kita hendak disuruh diam. Tidak mungkin Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua harus kerjasama dalam hal ini. Bagi ruang kerana tidak mungkin kita pertahankan Tuan Yang di-Pertua. Saya minta pertimbangan Tuan Yang di- Pertua supaya memberikan ketetapan dan memberikan ruang kepada kerajaan beri jawapan. Bukan menghukum. Saya tegaskan kita tidak minta siasatan ini dibawa untuk menghukum sekarang.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Port Dickson. Baik, baik.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Tetapi memberi peluang untuk ada siasatan, bagaimana orang susah, orang tidak ada kerja...

Yang Berhormat Port Dickson...

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

...Orang susah, kemudian pemimpin-pemimpin ambil ratusan juta dan dipadamkan, padam, padam, padam. Tidak mungkin ini kita biarkan.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih...

Yang Berhormat Port Dickson, Selayang hendak...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Selayang, ini bukan perbahasan. Tidak ada celahan. Yang Berhormat Selayang lawyer, kan?

Saya sokong apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Port Dickson. Saya sudah keluarkan kenyataan antara nama...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Selayang, Peraturan Mesyuarat 43, saya kena ikut peraturan. Minta maaf.

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

[Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Minta maaf Yang Berhormat Bukit Mertajam, tidak...

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Nama Yang Berhormat Selayang disebut dalam Pandora Papers...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Betullah, tetapi...

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

...Dan dia setuju siasatan dibuka.

Ya, saya sokong siasatan dibuat supaya penjelasan diberikan kepada semua.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Ini terima kasih...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Selayang.

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

Peraturan mesyuarat Tuan Yang di- Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Saya hendak respons dahulu...

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Bekas Menteri emak dia dapat RM1 bilion. Saya hendak bagi kat mak saya banyak mana.

[Dewan ketawa]

Tuan Mohamad bin SabuAMANAH · PHKota Raja

Ini yang saya rasa cemburu hendak belajar.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Tuan Yang di-Pertua, ada ahli Parlimen yang tersabit dengan Pandora Papers tetapi mendapat cuti sakit di Germany. Mereka dibiarkan pergi ke luar negara. Saya hendak tanya kepada Tuan Yang di-Pertua adakah ini satu keadilan di Malaysia di mana pembesar-pembesar boleh dapat apa sahaja walaupun disabit kesalahan [Tidak jelas] walaupun dapat apa ini tetapi boleh pergi Germany.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik Yang Berhormat.

Dalam Dewan ini Yang Berhormat Bagan Datuk sudah jawab ya. Itu cerita 19... [Pembesar suara dimatikan]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Saya hendak terus— sekarang ini waktu sesi peraturan mesyuarat...

Datuk Seri Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Selayang ini dia Bendahari Parti Keadilan. Dalam Pandora Papers itu juga ada bekas bendahari UMNO. Dua-dua ini bendahari parti, dia orang kena jelaskan dari mana datang kekayaan. Ketika nama Yang Berhormat Selayang muncul dalam Pandora Papers bersedia untuk disiasat, takkanlah Parlimen tidak boleh bagi ruang untuk Bendahari UMNO itu siasat juga. Itu beza dia. [Tepuk]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih. Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, baik. Yang Berhormat Port Dickson, saya meneliti apa yang telah dinyatakan tadi tetapi ini bukan sesi perbahasan lagi. Belum lagi. Jadi saya telah mendapat makluman daripada Tuan Yang di-Pertua telah menolak.... [Disampuk] Sebelum ini, saya kata sebelum ini. Saya rujuk balik kepada Peraturan Mesyuarat 43 itu. Kalau telah ditolak dibolehkan untuk diulang kaji kecuali dikeluarkan usul. Maknanya kita mohon black and white daripada Yang Berhormat Port Dickson untuk menulis atas...

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Sudah.

Ini semua helah teknikal, helah teknikal. Jawab sahaja.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Tuan Yang di-Pertua, saya sudah tulis. Saya Ahli Parlimen Port Dickson mohon daripada Tuan Yang di-Pertua mengikut Peraturan Mesyuarat 43. Ada surat.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Faham-faham.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Ini sudah kali ketiga, terlepas juga.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, baik. Saya baca. Usul Yang Berhormat Port Dickson telah diterima semalam. Mengikut Peraturan Mesyuarat 43 perlu notis dua hari, oleh itu masih dalam pertimbangan mengikut tempoh mesyuarat. Baca 43 ada tempoh itu, dalam tempoh dua hari. Baik.

Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih, itu jawabnya. Baik, nanti...

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Tuan Yang di-Pertua, ini teknikal.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Two days, two days.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Memang 43 disebut usul demikian tidak berkehendak dikeluarkan penentuan lebih daripada dua hari terlebih dahulu. Okey. Akan tetapi saya sudah bawa usul ini dua kali berikut-ikut bawah 18(1).

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

18(1) betul.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Semalam Tuan Yang di-Pertua tolak sekali lagi apabila saya rayu untuk dipertimbang. Hari ini dia tolak lagi kerana tidak cukup dua hari. Minor technical points for a major financial malfeasance disaster. [Tepuk] Mana hendak pilih ini? Saya tegaskan bahawa usul hari ini, kerana hari ini hari akhir. Janganlah dolak- dalik. Mana negara, Prime Minister of Iceland terpaksa letak jawatan selepas Pandora Papers. Beberapa negara lain seperti saya sebut hari itu seperti India, Pakistan dan beberapa negara lain mengarahkan siasatan terbuka. Kerana apa? Kerana ada integriti, kerana hendak jaga maruah negara dan pemimpin. Saya ikut kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Integriti, transparency semua dalam ucapan cukup hebat dirangka tetapi apabila kita minta soal integriti, dicampak ke bakul sampah. Tuan Yang di-Pertua, dalam isu RM1 trilion pengaliran keluar sama ada bentuk wang, saham itu perkara besar bagi negara. Kita gagal kemukakan berulang kali, untuk bincang pun tidak mungkin. Sebab itu saya hendak tegaskan, janganlah bersilat mula hendak jadi peguam bagi perasuah ini, sekarang pula bersilat soal pure technical point yang sebenarnya kita observe sebab kita ada bawa tiga hari dah. Cuma usul ini setelah gagal demi gagal digunakan technical point, walaupun isu itu substantive. Tuan Yang di- Pertua, kena ingat ini. Jadi saya tidak dapat elak daripada menyimpulkan bahawa sistem kita ini, dari ‘systemic stance’ corruption bahawa political elite, business elite itu bersekongkol bersama untuk menutup penjenayah, perompak ini.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih, baik, baik.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Biar siasatan membuktikan.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih, terima kasih.

Dato’ Seri Anwar bin IbrahimPKR · PHPort Dickson

Jangan terima kasih kat saya, saya minta setuju sahaja. [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Yalah saya setuju secara teknikal. Saya hendak teruskan dengan...

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak maklumkan.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Peraturan mesyuarat mana ini?

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

18(1).

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

18(1). Sila.

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Sebelum saya masuk sana, saya hendak beritahu ada demonstrasi di luar Parlimen pada hari ini mengenai Pandora Papers di mana NGOs meluahkan tidak puas hati kalau Parlimen tidak mendebatkan hal Pandora ini, tidak masuk akal. Saya harap Tuan Yang di-Pertua akan mengambil kira dan segerakan. Mungkin kita ada lanjutkan sesi esok supaya perkara ini dapat dibincangkan dengan khasnya. Itu cadangan saya.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih Yang Berhormat Ipoh Barat. Ya, Yang Berhormat Bukit Mertajam.

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Tuan Yang di-Pertua...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Bukit Mertajam.

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Bukan, saya belum habis lagi. Tuan Yang di-Pertua, mengenai Peraturan Mesyuarat 18, ini adalah mengenai pengagihan komputer riba. Saya telah membuat satu usul tertentu tetapi difahamkan bahawa perkara itu telah dibangkitkan di sesi ini, maka ia tidak perlu disegerakan. Tuan Yang di-Pertua, kalau ia tidak perlu disegerakan, bermakna perkara itu telah diselesaikan. Adakah ia telah diselesaikan? Ini kerana kita ada lebih daripada 2 juta anak- anak kita di sekolah, hanya lima peratus sahaja daripada B40 diberikan komputer riba. Tidak masuk akal. Jadi Kementerian Pendidikan patut menjawab allegation, di mana mereka menggunakan ini sebagai satu syok sendiri, katakan komputer riba untuk semua anak di negara ini walhal hanya tidak sampai lima peratus. Sekolah Tamil lagi teruk, tiga peratus sahaja. Macam mana kita boleh terima pandangan ini? Tuan Yang di-Pertua katakan, perkara itu telah dibangkitkan, maka ia tidak perlu disegerakan. Sebenarnya Yang Berhormat, Parlimen adalah tempat di mana rakyat ingin usaha suara mereka didengar di Parlimen. Itu sebab kita berada di sini. Saya telah dapat banyak kompelin. Di kawasan saya, satu sekolah Tamil pun tidak dapat komputer riba. Lagi-lagi hanya saya ada dapat surat semalam mengatakan 67 komputer riba sahaja akan diagihkan di kawasan saya di mana ada lebih kurang 100,000 pengundi di kawasan saya. Jadi, mana boleh kita terima sedemikian. Mana itu Keluarga Malaysia Tuan Yang di-Pertua? Adakah Tuan Yang di-Pertua setuju kepada Keluarga Malaysia yang mendiskriminasikan anak-anak B40? Kalau kata untuk B40 komputer riba ini, berilah kepada semua. Ini Pandora Paper, kalau wang-wang di sana diagihkan, semua rakyat di Malaysia boleh dapat komputer riba ini. Jadi soalan saya Tuan Yang di-Pertua, saya sudah kata banyak kali sebelum ini, kalau Speaker-Speaker sebelum ini, kalau ada satu usul 18(1), hanya benarkan mereka menjawab supaya keluhan rakyat boleh didengari di Parlimen. Jangan kita menutup. Don’t push under the carpet. Ini menunjukkan bahawa kita tidak sensitif terhadap perkara rakyat yang perlukan bantuan.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat. Baik.

Tuan M. KulasegaranDAP · PHIpoh Barat

Kalau B40, B40 lah. Tolong mereka. Kita duduk di sini air conditioned punya tempat, seronok-seronok, baik tetapi sebenarnya tidak mendengar masalah rakyat. Jadi, macam mana mengatasi masalah tersebut walhal kita tidak menyegerakan perkara ini dibincangkan hari ini. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Barat. Sila Yang Berhormat Bukit Mertajam.

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga ingin membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(12), “Mana-mana Ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan sebagai menghina Majlis dan Ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu”. Tadi cakap tentang Pandora Paper, RM1 trilion. Kemudian tentang isu skandal lap-top yang tidak sampai kepada pelajar, beratus juta ringgit. Isu yang saya hendak bangkitkan ini juga melibatkan kerugian puluhan bilion ringgit kepada negara kita. Jadi, saya harap Tuan Yang di-Pertua akan memberikan perhatian dan petua yang adil terhadap isu ini. Saya secara spesifiknya merujuk kepada ucapan Yang Berhormat Ahli Parlimen Ayer Hitam, merangkap Menteri Pengangkutan di dalam Dewan yang mulia ini pada 30 September 2021 dan juga jawapan bertulis yang diberikan kepada saya oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Ketereh, merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia kepada saya juga dalam Parlimen ini pada 5 Oktober 2021. Secara spesifiknya, ucapan Yang Berhormat Ayer Hitam pada 30 September tersebut, kalau diperhatikan daripada Hansard dan sebagainya, secara jelas Ahli Parlimen Ayer Hitam menafikan bahawa keputusan beliau menarik semula pengecualian Dasar Kabotaj telah menyebabkan projek Apricot oleh Facebook dan Google tidak melibatkan Malaysia ataupun dengan izin, bypass Malaysia. Beliau menafikan bahawa tiada perkara ini. Akan tetapi sebaliknya pada 5 Oktober 2021, Yang Berhormat Ketereh sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia telah memberikan jawapan bertulis kepada saya dan sebab ini penting, saya petik jawapan bertulis tersebut. Yang Berhormat Ketereh berkata, “Pemilihan negara bagi menyertai rancangan pemasangan kabel internet Apricot dasar laut (subsea cabel) adalah keputusan syarikat Facebook dan Google”. Ini poin beliau. “Malaysia tidak tersenarai” dan beliau tambah lagi perkataan bahasa Inggeris “(bypass) sebagai salah satu negara yang terlibat dalam pendaratan stesen kabel dasar laut tersebut memandangkan isu pengecualian Dasar Kabotaj yang belum selesai”. Tuan Yang di-Pertua, kalau kita lihat, jelas kesenjangan di antara jawapan kedua- dua orang Menteri ini. Perkara ini serius sebab mengikut bekas Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin, oleh sebab Malaysia tidak dilibatkan ataupun kena bypass oleh Facebook dan Google, maka kita telah kehilangan pelaburan berteknologi tinggi puluhan bilion ringgit. Jadi dalam keadaan ini apabila kita bertanya kepada Menteri dalam Dewan yang mulia ini, kita mendapati bahawa ada dua jawapan yang berbeza. Jadi kesenjangan ini menunjukkan bahawa sudah tentu tidak mungkin kedua-dua mereka betul. Salah seorang daripada mereka sudah tentu telah menipu dan memutarbelitkan fakta. Jadi di sini saya pohon petua Tuan Yang di-Pertua dan saya juga telah menghantar surat secara rasmi kepada Speaker semalam...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Bila itu? Semalam ya?

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

Semalam.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik.

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

Untuk menentukan kebenaran siapa yang menipu, siapa yang bercakap benar. Sama ada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan yang menipu ataupun Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Multimedia menipu.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih.

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

Seterusnya, setelah kita mendapat kebenaran tersebut, seterusnya merujukkan Menteri yang menipu itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan [Tepuk] mengikut Perkara 36(12). Saya berikan keputusan kepada Tuan Yang di-Pertua untuk menentukan tetapi kalau Tuan Yang di-Pertua tidak ingin menentukan siapa yang bercakap benar atau siapa yang menipu, maka saya sarankan

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

supaya kedua-dua orang Menteri tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Sekian, terima kasih. [Tepuk]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam. Saya dapat makluman ini iaitu Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah pun menulis kepada kedua-duanya. Jadi ini dalam perhatian Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Dengan izin, this is dated yesterday, sedang dalam perhatian Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

Saya harap...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Dia akan menjawab.

Tuan Sim Chee KeongDAP · PHBukit Mertajam

Saya nampak surat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan saya ucapkan terima kasih kepada beliau. Akan tetapi saya harap jangan kerana hari ini merupakan hari terakhir, maka perkara ini dilepaskan begitu sahaja. Datang balik sidang akan datang, saya harap satu ketetapan keputusan yang muktamad akan diberikan. Mana Menteri yang menipu, kita rujuk Menteri yang menipu dan memutarbelitkan fakta itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Saya mohon keputusan Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan.

Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG LEVI KEUNTUNGAN LUAR BIASA (PINDAAN) 2020 Bacaan Kali Yang Kedua dan KetigaBill

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan I · Paya Besar

Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan suatu akta untuk meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 dibacakan kali yang kedua sekarang. Tuan Yang di-Pertua, Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 yang dicadangkan adalah bagi meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 [Akta 592] bagi meminda peruntukan sedia ada dan memasukkan peruntukan baharu dengan tujuan untuk menambah baik pentadbiran levi keuntungan luar biasa melalui peruntukan remisi dan pulang balik levi dan penalti yang boleh memberikan manfaat kepada orang yang membayar levi. Tuan Yang di-Pertua, saya memohon untuk menghuraikan setiap fasal dalam rang undang-undang ini. Rang undang-undang ini mempunyai empat fasal seperti berikut. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan. Fasal 2 bertujuan menggantikan seksyen 13 untuk memberikan kuasa kepada Menteri bagi meremitkan keseluruhan atau mana-mana bahagian levi keuntungan luar biasa yang kena bayar.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan I · Paya Besar

Fasal ini juga, Tuan Yang di-Pertua, memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kastam meremitkan keseluruhan atau mana-mana bahagian penalti yang kena bayar. Peruntukan turut disediakan untuk pembayaran balik levi keuntungan luar biasa atau

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan I · Paya Besar

penalti yang telah diremitkan kepada mana-mana orang jika orang itu telah membayar levi keuntungan luar biasa atau penalti. Tuan Yang di-Pertua, fasal 3 bertujuan menggantikan seksyen 14 untuk membenarkan mana-mana orang yang telah terlebih bayar atau tersilap bayar apa-apa levi keuntungan luar biasa atau penalti atau mana-mana orang berhak untuk mendapatkan bayaran balik levi atau penalti di bawah seksyen 13 untuk menuntut pembayaran balik dalam satu tempoh satu tahun daripada masa pembayaran lebih atau pembayaran tersilap itu berlaku. Fasal ini juga memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kastam untuk mengurangkan atau menolak pembayaran balik jika pembayaran balik itu boleh dengan tidak patut memperkayakan orang yang telah membuat tuntutan itu. Tuan Yang di-Pertua, fasal 4 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 14A ke dalam Akta 592 yang memperuntukkan bahawa Ketua Pengarah Kastam boleh membayar balik levi keuntungan luar biasa atau penalti jika berpuas hati bahawa orang yang membuat tuntutan telah membuktikan dengan sepatutnya. Apa-apa tuntutan hendaklah disokong dengan keterangan sebagaimana dikehendaki oleh Ketua Pengarah. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Siapa yang menyokong?

Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin GhazaliUMNO · BNTimbalan Menteri Kesihatan I · Bagan Serai

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahas.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Beruas.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Saya ada dua tiga orang yang ingin bahas. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Pontian. Saya bagi masa 10 minit.

Assalamualaikum, salam sejahtera, Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat. Saya ingin mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 ini. Saya ingin membangkitkan untuk permulaan ini beberapa soalan yang penting dan asas. Soalan pertama ialah kenapa hanya sawit yang dikenakan levi keuntungan luar biasa? Bagaimana tentang komoditi-komoditi yang lain jika komoditi itu mencapai keuntungan yang tertentu seperti lada hitam, kopi dan getah? Akan tetapi, tentunya levi ini tidak boleh dikenakan kepada pekebun-pekebun kecil. Ia perlu dikenakan kepada syarikat-syarikat besar sahaja. Sebagai contoh, levi keuntungan luar biasa kelapa sawit ini dikenakan kepada syarikat-syarikat ataupun estet-estet yang memiliki lebih daripada 100 ekar tanaman kelapa sawit. Jadi, soalan saya yang pertama ialah kenapa hanya sawit dan kenapa tidak dibuka kepada komoditi-komoditi yang lain? Walaupun komoditi itu pada ketika ini tidaklah tinggi harganya tapi pada masa hadapan kemungkinan ia boleh meningkat. Sebagai contoh, getah dulu harganya murah, sekarang ini harganya agak meningkat. Sekali lagi saya ingin menyatakan bahawa jangan kenakan pada syarikat-syarikat kecil, hanya kenakan pada syarikat-syarikat besar, estet yang lebih 100 ekar. Soalan saya yang kedua yang ingin saya bangkitkan di sini ialah apabila kita sebut bahawa ada kaedah untuk salah kira, penalti, rayuan supaya berlaku adil, saya ingin tanya

kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, ada tidak yang tidak bayar levi ini? Berapa syarikat yang terlibat semuanya? Adakah ratusan buah syarikat?

[Bangun]

Ya, sila. Ini Yang Berhormat Bagan Datuk, silakan.

Yang Berhormat Pontian, kita harus melihat rang undang-undang ini bukan hanya terfokus kepada komoditi. Kita juga harus lihat kepada keuntungan-keuntungan luar biasa seperti, dengan izin, capital gains, kenaikan modal. Ketika pasaran saham mencapai tahap bull run, maka pelabur-pelabur akan memperoleh keuntungan luar biasa. Dulu, ketika bull run meningkat kepada 1,200 mata, maka kenaikan harga saham luar biasa. Oleh kerana tidak ada cukai kepada capital gains, adakah Yang Berhormat juga menyarankan agar capital gains juga dikenakan windfall tax? Kerana kita tahu hanya mereka yang dalam income bracket yang tinggi sahaja masuk ke pasaran saham walaupun dia merupakan daily traders. Bagaimanakah pendapat Yang Berhormat?

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Sila, Yang Berhormat Pontian.

Terima kasih atas celahan Yang Berhormat Bagan Datuk. Tadi sebelum Yang Berhormat Bagan Datuk masuk, ada seorang Ahli Parlimen di sini menimbulkan nama Yang Berhormat. Saya cuba membelalah. [Ketawa] Apabila beliau menyatakan bahawa Yang Berhormat diberi pasport untuk berubat di Germany, saya kira kliniknya itu berbeza dengan klinik Yang Berhormat Port Dickson, ya. Yang Berhormat Port Dickson pun di Germany tapi Yang Berhormat Bagan Datuk juga di Germany tapi rasanya orang yang berbeza, doktor yang berbeza, doktor pakar yang berbeza. Yang Berhormat Bagan Datuk juga telah menjawab mengenai Pandora Papers di sini. Beliau telah menjawab bahawa syarikat yang terlibat tahun 1993, USD50,000 ia punya share capital dan syarikat itu sudah ditutup pun pada tahun 1994. Ini cerita lama ketika Yang Berhormat Bagan Datuk belum menjadi Ahli Parlimen.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Yang Berhormat Pontian. Yang Berhormat Pontian, sekejap.

Jadi, cadangan Yang Berhormat Bagan Datuk mengenai CGT...

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Yang Berhormat Pontian, penjelasan.

Yang Berhormat...

Mengenai capital gains tax (CGT) ini, ini satu cadangan yang baik. Mungkin CGT ini boleh kita adakan untuk sementara. Yang Berhormat Pekan ada mencadangkan bahawa ada cukai-cukai sementara. Kita susah. Ini kita kenakan. Memanglah ada buruk dan baiknya capital gains tax (CGT) ini kepada pasaran saham, pasaran modal. Walau bagaimanapun, ketika kita susah, tentunya ia memberikan kebaikan dari segi memberi income yang lebih kepada kerajaan.

Izin laluan.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Penjelasan, Yang Berhormat Pontian.

Yang Berhormat Bayan Baru.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Saya yang bangkitkan tentang Yang Berhormat Bagan Datuk yang akan pergi ke Germany. Saya ingin ucapkan selamat

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

menjalankan rawatan di Germany dan saya harap jugalah supaya Yang Berhormat Bagan Datuk get well soon. Akan tetapi, saya juga harap bahawa Yang Berhormat Bagan Datuk memberi penjelasan kepada Dewan yang mulia ini, berapa lama Yang Berhormat Bagan Datuk akan pergi dan bila akan pulang? Haraplah rakyat Malaysia boleh tahu,

Okey, cukuplah itu.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Terima kasih.

Fasal perbahasan. Isu perbahasan.

Tuan Yang di-Pertua, saya dengan ini memberi kebenaran kepada Yang Berhormat Bagan Datuk untuk bercerita sedikit maklumat tambahan. Silakan. Mengenai Pandora Papers dan Germany. Seminit dua.

Oleh kerana Yang Berhormat tinggal empat minit, elok saya tidak mengambil lebih daripada 50 peratus daripada waktu berbahas.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Ini di luar topik bahas, Tuan Yang di-Pertua.

Sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah, saya hanya dibenarkan untuk memperoleh sementara pasport antarabangsa saya daripada 26 Oktober hingga 21 November. Maka, ketika pengundian bajet, saya minta maaf, saya tidak dapat bersama tetapi yakinlah, jiwa saya terus menyokong bajet yang akan dibentangkan.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Pontian, this is your floor.

Yang Berhormat Pontian, isu...

Untuk Pandora Papers, saya bersetuju dengan Yang Berhormat Port Dickson. Ketika itu saya belum menjadi Ahli Parlimen. Ketika itu saya belum berada di persada politik di peringkat nasional dan ketika itu pelaburan dibuat di negara China. Sila rujuk kepada Hansard saya dan diharap Yang Berhormat Port Dickson dan rakan-rakan yang lain jangan ada buruk sangka terhadap saya kerana saya tidak akan melarikan cukai, malah wang itu dibawa ke tanah air dan cukai dikenakan oleh LHDN, jika ada ketika itu. Namun, syarikat itu telah ditutup kerana kita telah memperoleh semula pelaburan yang dibuat di negara China dan dividen telah diberikan kepada pemegang saham. Manakala pinjaman juga telah dibayar kepada institusi kewangan yang terbabit. Terima kasih.

Terima kasih, terima kasih.

Yang Berhormat Pontian... [Pembesar suara dimatikan]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Sekejap. Saya terpaksa berkata kepada Yang Berhormat Pontian, P.M. 36(1). Perbahasan ini adalah mengenai rang undang-undang. Tidak boleh― induknya ialah rang undang-undang. Saya tidak benarkan untuk perbahasan yang lain.

Yang Berhormat Pontian, 15 saat sahaja.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Ini nasihat saya kepada Yang Berhormat Pontian. Sila, Yang Berhormat Pontian.

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Soalan yang ketiga. Terlebih bayar ini, berapa banyak yang terlebih bayar? FGV, misalnya, Felda Global Ventures membayar RM108 juta sehingga September cukai keuntungan luar biasa. Ini yang dimaklumkan oleh rakan saya, Yang Berhormat Besut, Pengerusi FELDA. Banyak itu RM108 juta. Mungkin FGV juga terlebih bayar agaknya. Keempat ialah...

Yang Berhormat Pontian, 30 saat.

Sekejap, sekejap. Sekejap, Yang Berhormat Muar. Sabar, Yang Berhormat Muar. Sabah dan Sarawak 1.5 percent, Semenanjung tiga percent. Kenapa berbeza ini? Saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri, kenapa berbeza cukai ini? Kemudian, perkara seterusnya ialah kajian pada cukai syarikat besar sarung tangan, syarikat pengeluar facemask kah atau apa kah. Sebagai contoh, syarikat sarung tangan getah terbesar Top Glove Corporation Berhad. Tahun kewangan 2021 sembilan bulan, untung bersih 11 kali ganda, Tuan Yang di-Pertua.

Untungnya RM7.35 bilion. Kita ucap tahniahlah kepada syarikat ini. Ada 47 buah kilang sarung tangan di Malaysia ini, 205 bilion keping sarung tangan setahun dan kerana pandemik COVID-19, dia dapat keuntungan luar biasa 11 kali ganda. Kalau untuk suku ketiga berakhir 31 Mei, keuntungannya lima kali ganda iaitu RM2.064 bilion. Saya kira syarikat-syarikat begini perlu juga membayar cukai keuntungan luar biasa. Ya, Yang Berhormat Muar. Yang Berhormat Muar.

Saya setuju dengan cadangan Yang Berhormat Pontian dengan Yang Berhormat Bagan Datuk berkenaan dengan isu cukai-cukai lain yang harus dikenakan khususnya windfall tax. Akan tetapi, apabila dicadangkan kepada kerajaan pada tahun lepas, kerajaan telah pun umumkan semasa sesi pembentangan belanjawan cadangan alternatif iaitu di mana syarikat-syarikat gergasi pengeluar sarung tangan getah perlu memberikan sumbangan secara total RM400 juta bagi tujuan bantuan COVID-19. Saya sudah tanya soalan ini sudah lebih 10 kali. Mana bantuan RM400 juta tersebut? Adakah telah diberikan atau kerajaan lupakan terus untuk kenakan bantuan ini kepada syarikat gergasi syarikat pengeluar sarung tangan getah? Terima kasih.

Terima kasih. Okey, saya kali pertama setuju dengan Yang Berhormat Muar. Saya juga ingin bertanya perkara yang sama. Akhir ialah― ya, petroleum ia ada cukai PITA, Petroleum Income Tax tetapi petroleum ini daripada USD40 setong meningkat kepada USD83 setong. Adakah keuntungan luar biasa juga patut dikenakan pada produk-produk petroleum ini? Saya rasa cukuplah sekadar itu. Beri peluang dan ruang kepada yang lain. Terima kasih. Assalamualaikum.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Ya, masa sudah cukup. Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh. Untuk pembahas yang kedua daripada pihak sini... [Merujuk pada blok pembangkang]

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Beruas dahulu.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

...Saya jemput Yang Berhormat Sepang. Oleh sebab pembahas yang pertama, saya bagi tempoh 10 minit juga.

Okey, baik. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya untuk turut sama berbahas mengenai satu akta atau rang undang-undang pindaan ke atas Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998. Pertamanya, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin terus pergi kepada peruntukan yang ingin dipinda iaitu penggantian seksyen 13. Tuan Yang di-Pertua, saya telah melihat...

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Yang Berhormat Sepang, kalau boleh ini peringkat dasar, belum jawatankuasa lagi.

Tidak apa. Sabar, sabar. Tuan Yang di-Pertua, saya tahu, saya tahu.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Okey, baik.

Saya aware benda itu.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik.

Cuma saya hendak kata, Tuan Yang di-Pertua, apabila saya tengok seksyen 13 ini, saya mendapati yang hendak dipinda dengan yang asal, yang asal lebih baik. Jadi, saya merasakan bahawa saya agak susah hendak terima peruntukan pindaan seksyen 13 ini kerana bagi saya perkataan yang dalam seksyen asal ada perkataan “adil” itu, bagi saya lebih baik. Tuan Yang di-Pertua, kita tahu bahawa akta-akta ini tujuannya baik iaitu akta ini untuk memastikan tidak ada mana-mana keuntungan yang luar biasa yang tidak sepatutnya dikutip ataupun diambil oleh mana-mana pihak seperti mana yang dikatakan oleh— lebih kurang ia punya undang-undang ini ada persamaan dengan, kalau kita lihat dalam berkaitan dengan undang-undang windfall tax, iaitu memastikan bahawa pihak- pihak tidak mengambil kesempatan untuk mengambil keuntungan luar biasa dalam keadaan orang susah. Sebagai contoh, sering dikatakan atau yang selalu dikatakan ialah Syarikat Top Glove yang mengatakan telah mengambil atau akan mendapat keuntungan yang luar biasa akibat daripada penderitaan rakyat hasil daripada pandemik. Mereka telah mengaut keuntungan begitu luar biasa. Jadi, sebab itulah ada dicadangkan supaya diadakan satu akta windfall tax ini untuk memastikan bahawa kalau sekiranya mereka mendapat keuntungan itu, keuntungan itu mesti juga dikongsi kepada rakyat melalui kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, saya telah meneliti ataupun membaca akta asalnya iaitu pada tahun 1998. Saya dapati kerajaan sepatutnya menggunakan peluang untuk meminda akta ini seharusnya, kata orang itu, mengetatkan lagi tentang peruntukan- peruntukan berkaitan dengan jenayah. Saya telah lihat bahawa dalam akta ini memang ada peruntukan mengenai jenayah. Sebagai contoh, beberapa seksyen iaitu seksyen 17, seksyen 19, seksyen 20, seksyen 21 dan seksyen 22. Akan tetapi, saya hendak kaitkan sikit, Tuan Yang di-Pertua, kenapakah— seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang dalam kes— saya hendak kaitkan macam mana akta ini kita boleh gunakan macam mana reaksi dari luar negara apabila mereka melihat apa yang berlaku kepada Pandora Papers ini. Mereka mengambil satu inisiatif yang baik. Antaranya, Ahli-ahli Kongres Amerika sekarang ini sedang berusaha untuk membuat satu akta khas iaitu akta dipanggil Enablers Act. Akta- akta yang memastikan bahawa mereka yang terlibat secara tidak langsung yang membolehkan pihak-pihak yang mengaut keuntungan ini dan dapat mengelakkan percukaian untuk diambil juga tindakan. Sebagai contoh, enablers itu salah satunya para peguam, ejen-ejen. Jadi, saya merasa hairan kerana apakah dalam saat ketika ini kita memastikan bahawa banyak pihak yang telah menyalahgunakan untuk mendapat keuntungan yang luar biasa ini, tiba-tiba kita tidak berhasrat untuk tidak langsung menyentuh pindaan ini mengaitkan bagaimanakah kita boleh mengambil tindakan kepada enablers ini. Itu pihak-pihak yang

terlibat menolong, membantu mereka yang mengaut keuntungan luar biasa ini. Sepatutnya kita kena gunakan peluang ini. Walaupun dalam peruntukan dalam akta ini ada secara tidak langsunglah, secara sikit, to be fair, iaitu berkaitan dengan kesalahan subahat...

Tuan Sivarasa RasiahPKR · PHSungai Buloh

[Bangun]

...Tetapi bagi saya, Tuan Yang di-Pertua, kalau kita betul-betul serius― sebab masa Kerajaan Pakatan Harapan, kita telah menubuhkan National Financial Center (NFC) iaitu kita telah membuat juga satu akta untuk memberikan satu kuasa yang luar biasa kepada pihak center ini untuk memastikan supaya jenayah-jenayah seperti 1MDB tidak berulang lagi. Akan tetapi, kita lihat...

Tuan Sivarasa RasiahPKR · PHSungai Buloh

Yang Berhormat Sepang, boleh mencelah?

Silakan, silakan. Boleh, boleh.

Tuan Sivarasa RasiahPKR · PHSungai Buloh

Baik, terima kasih Yang Berhormat Sepang dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Sepang dan bagi fakta sikit. Ini tadi Yang Berhormat Sepang sebut tentang untung-untung yang besar daripada sektor sarung tangan ya, gloves. Untuk fakta supaya kita tahu, untuk satu syarikat yang telah disebut namanya Top Gloves itu, dalam third quarter, dengan izin, tahun 2021 tahun ini, mereka sudah sampai keuntungan bersih RM4.13 bilion. Third quarter sahaja, belum sampai ke akhir tahun lagi. Itu akan meningkat. Ini lebih besar daripada untung bersih mereka dari tahun 2016 hingga tahun 2020 secara kumulatif. Dalam third quarter sahaja sudah melebihi itu. Jadi, saya hendak tanya melalui Yang Berhormat Sepang kepada Yang Berhormat Menteri, apakah cadangan daripada kerajaan untuk mengenakan satu windfall tax untuk sektor ini? Sebab, kita sudah ada satu precedent menggunakan akta ini untuk sektor oil palm ya, dengan izin, kelapa sawit. Juga saya hendak tanya melalui Yang Berhormat Sepang untuk Yang Berhormat Menteri jawab, adakah kerajaan sedia mempertimbangkan akta-akta lain dengan hasrat yang sama iaitu kutip dana untuk kegunaan rakyat? Satu, melalui satu capital gain tax, dengan izin. Kedua, seperti yang dibuat di Singapura, satu inheritance tax, yang boleh membantu kerajaan dapat satu cukai yang adil dan boleh digunakan untuk manfaat rakyat. Saya hendak tanya melalui Yang Berhormat Sepang. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Sila, Yang Berhormat Sepang. Ada tiga minit lagi.

Terima kasih kepada sahabat saya, Yang Berhormat Sungai Buloh.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Baik.

Tuan Yang di-Pertua, saya bersetuju dengan segala apa yang dikatakan dan saya mohon supaya dijadikan sebagai sebahagian daripada ucapan saya. Saya juga mohon supaya pihak Yang Berhormat Menteri menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Buloh tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, hakikatnya memang betul Tuan Yang di-Pertua sebenarnya memang dalam negara kita ini memang ada pihak-pihak yang telah mengaut keuntungan hasil daripada penderitaan rakyat. Saya bagi contoh Tuan Yang di-Pertua, di Parlimen ini kita pernah didedahkan bagaimana contohnya dalam saya beri contoh dalam kes pembayaran-pembayaran apa yang dipanggil kepada syarikat-syarikat konsesi dalam kutipan tol. Saya pernah ingat lagi dalam Parlimen ini, bagaimana ada sebuah syarikat apabila kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan ataupun tidak menaikkan tol

mereka tidak rugi, mereka dibayar ganti rugi lagi dan ganti rugi itu sampai mencecah harga juta sedangkan rakyat terpaksa membayar tol dengan keadaan menderita tetapi syarikat ini mendapat keuntungan. Jadi, adakah patutnya Tuan Yang di-Pertua kita harus juga masukkan kesalahan ini sebagai kesalahan di bawah mengaut keuntungan ataupun di bawah Akta Levi Keuntungan Luar Biasa. Akan tetapi Tuan Yang di-Pertua, nampaknya pekerja-pekerja sawit ataupun syarikat-syarikat yang terlibat dengan kelapa sawit ini yang lebih diutamakan. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyatakan ini Tuan Yang di-Pertua kalau betul- betul kita serius untuk memerangi sebarang jenayah yang melibatkan keuntungan luar biasa ini, kita mesti bersikap komprehensif dari segi kita menangani problem, menangani masalah. Tuan Yang di-Pertua, sepatutnya kita bermula dengan Parlimen ini. Akan tetapi malangnya kita bercakap tentang reformasi Parlimen tetapi kita tidak langsung memberikan peluang untuk kita berbincang benda yang paling penting seperti Pandora Papers ini. Sedangkan Pandora Papers ini Tuan Yang di-Pertua ada kaitan dengan kalau kita lihat ada kaitan juga dengan kes-kes yang seperti bawah Akta Levi Keuntungan Luar Biasa ini walaupun tidak ada langsung. Oleh sebab Tuan Yang di-Pertua, sebab itulah saya beritahu tadi bagaimana European Parliament pada 6 Oktober telah berbincang, telah berbahas tentang Pandora Papers ini tetapi kita Tuan Yang di-Pertua nak dapatkan perbincangan, perbahasan ini terpaksa tiga kali pihak pembangkang bangun. Itu pun tidak dapat-dapat lagi. Tuan Yang di-Pertua, kalaulah saya boleh katakan dalam – kalau Amerika Tuan Yang di-Pertua dia cuba untuk menjadikan mereka yang dipanggil enablers ini supaya dipertanggungjawab juga untuk dalam kes-kes Pandora Papers ini. Kemungkinan di Parlimen ini kita juga boleh menjadikan “enablers” ini iaitu daripada Tuan Yang di-Pertua yang sendiri cuba menghalang perbahasan ini. Mungkin Tuan Yang di-Pertua juga boleh didakwa di mahkamah.

Tuan Nga Kor MingDAP · PHTeluk Intan

Yang Berhormat Sepang boleh minta penjelasan sedikit. Terima kasih Yang Berhormat Sepang. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Isu di depan mata kita ini Akta Levi Keuntungan Luar Biasa. Akan tetapi perkara pokoknya saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Menteri adakah sebenarnya keuntungan luar biasa khususnya daripada ekonomi di bawah tanah? Saya beri contoh. Akibat daripada penyeludupan, negara kita hilang hasil sekurang-kurangnya RM6 bilion. Adakah kerajaan, akta ini, akan merangkumi aktiviti tersebut supaya keuntungan luar biasa daripada aktiviti seperti penyeludupan ini tidak terlepas daripada bayar cukai. Kita sekarang ini we tax the legal business, lawful business. Akan tetapi bagaimana dengan underground business yang sebenarnya mengaut keuntungan luar biasa dan tidak bayar sedikit pun cukai yang kini amat perlu untuk membayar hutang negara yang semakin menggunung. Terima kasih.

Saya gulungkan ya. Tuan Yang di-Pertua, saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat dari Taiping.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Teluk Intan, Teluk Intan.

Sorry, Teluk Intan minta maaf. Tuan Yang di-Pertua, sebab dulu Taiping. Tuan Yang di-Pertua, minta maaf. Ini tiada kaitan dengan kesalahan di bawah mana-mana peraturan mesyuarat. Tuan Yang di-Pertua, inilah masalahnya iaitu yang apa dikatakan oleh Yang Berhormat daripada teluk Intan itu apa dia kata black economy ini memang ada masalah. Tuan Yang di-Pertua, saya mendapati rang undang-undang yang cuba dibentangkan ini cuba diluluskan di Parlimen hari ini sebenarnya masih lagi banyak yang tidak cuba dipinda. Oleh sebab itu, bagi saya usul untuk meminda ini baik tetapi malangnya kerajaan tidak menggunakan peluang ini untuk memastikan khususnya peruntukan-peruntukan mengenai penalti ataupun peruntukan-peruntukan mengenai jenayah ini. Sepatutnya diperketat di waktu ini supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengambil peluang untuk membuat keuntungan di atas penderitaan rakyat

Akan tetapi malangnya kita hanya kita lihat – saya lihat roh ataupun spirit kepada pindaan ini lebih kepada macam mana kerajaan hendak dapat duit. Oleh sebab itu kalau sekiranya kerajaan cuba menyusahkan sebagai contoh kalau sekiranya orang itu terlebih bayar, hendak pulang balik duit itu kerajaan akan berhati-hati.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih.

Akan tetapi untuk dapat duit, untuk rampas duit kerajaan tidak berhati-hati. Oleh sebab itu kerajaan – sebenarnya Tuan Yang di-Pertua kesimpulannya kerajaan ini tidak ada integriti pun berkenaan undang- undang yang berkaitan dengan wang oleh sebab mereka pun ada masalah kepada kes- kes yang melibatkan rompakan wang ini. Itu sahaja.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Baik, terima kasih Yang Berhormat Sepang. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Tebrau, lima minit. Selepas break nanti yang lainnya akan kita senaraikan. Sila Yang Berhormat Tebrau, lima minit.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Beruas. Lima minit sahaja.

terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Izinkan saya mengambil bahagian dalam pembahasan ini. Tuan Yang di-Pertua, setakat ini hanya kelapa sawit dikenakan levi keuntungan luar biasa pada kadar tiga peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM2,500 setan di Semenanjung Malaysia dan 1.5 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM3,500 setan di Sabah dan Sarawak. Memandangkan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya semangat MA63 dengan izin, dapat diberi pengiktirafan, maka telah tiba masanya Perintah Levi Keuntungan Luar Biasa kelapa sawit untuk dikaji semula supaya kadar levi yang dikenakan tidak jauh bezanya di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Justifikasi untuk adakan kadar levi yang berbeza harus dikaji semula oleh sebab perintah ini diluluskan oleh Dewan yang mulia pada tahun 2008. Banyak perubahan telah berlaku sejak tahun 2008. Banyak kilang kelapa sawit sudah dibina di Sabah dan Sarawak sejak tahun 2008. Kos pengangkutan di antara kebun ke kilang sudah kurang, jadi dia punya kos pengangkutan sudah kurang juga. Gaji pekerja di Semenanjung Malaysia kian meningkat dan kos-kos lain pun tidak jauh beza dengan Sabah dan Sarawak. Secara amnya kadar gaji di Sabah dan Sarawak lagi murah, maka alasan untuk diadakan levi yang lebih rendah di Sabah dan Sarawak sudah tidak berasas lagi. Jadi saya memohon Kementerian Kewangan mengkaji semula tentang levi yang dikenakan. Saya berpendapat sama dengan Yang Berhormat Pontian mengapa tiada perintah dikenakan ke atas komoditi lain. Akan tetapi saya ingin bertanya juga macam mana dengan barang-barang pengeluaran lain. Bukan semua sektor terjejas masa pandemik COVID-19. Barang-barang pengeluaran yang berkaitan dengan kesihatan khususnya sarung tangan, sanitizer dan makanan tambahan kesihatan ini adalah apa kita kata supplement dengan izin, dipercayai sudah dapat keuntungan yang luar biasa. Tidak haruskah mereka menyumbang sebahagian keuntungan mereka kepada negara kita. Ada Yang Berhormat juga menyebut, Yang Berhormat Pontian dan juga Yang Berhormat lain tentang Capital Gains Tax dengan izin yang masih dilaksanakan untuk mengenakan cukai CGT ke atas keuntungan saham. Saya ingin bertanya bilakah Capital Gains Tax ini sesuai untuk dilaksanakan di negara kita. Mengenai dengan Inheritance Tax yang juga disentuh saya berpendapat walaupun itu adalah satu cukai yang boleh tambah hasil tetapi saya berbeza pendapat. Bagi saya kalau kita hendak kenakan levi tambahan dengan cukai syarikat dan tambah lagi dengan cukai individu dan kalau kita hendak laksanakan Capital Gains Tax, kemudian hendak laksanakan Inheritance Tax lagi, kita sudah macam sengaja menghukum orang

yang berupaya untuk mendapat hasil yang tinggi berbanding dengan orang lain. Itulah perbahasan daripada saya. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Yang Berhormat jam telah menunjukkan pukul satu tengah hari. Kita akan berhenti rehat dan akan bersambung semula pada pukul 2.30 petang. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat.

[Mesyuarat ditempohkan pada jam 1.00 tengah hari]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon)

[Dato’ Sri Azalina Othman Said (Pengerang) mempengerusikan Mesyuarat]

Okey, Bismillahi Rahmani Rahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya hendak jemput yang mana?

Tuan Wong Hon WaiDAP · PHBukit Bendera

Bukit Bendera.

Lima minit Yang Berhormat Bukit Bendera?

Tuan Wong Hon WaiDAP · PHBukit Bendera

Ya.

Silakan.

Tuan Wong Hon WaiDAP · PHBukit Bendera

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya turut ingin menyertai perbahasan terhadap pindaan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 dan saya meneliti pindaan akta ini seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri berkenaan dengan bahagian pentadbiran iaitu pemulangan wang atau pembayaran wang kepada syarikat-syarikat dan saya rasa ini pentadbiran. Akan tetapi saya ingin membahaskan tentang dasar tentang keuntungan luar biasa of windfall profit levy untuk secara dasarnya. Kalau kita imbas kembali asas undang-undang iaitu berlakunya pada tahun 1998 apabila terdapat Asian financial crisis dan kelapa sawit, pengeksportan menggunakan US dollar. Oleh itu pada waktu itu asasnya kerana ada satu keuntungan luar biasa pada Asian financial crisis dan harga minyak sawit dijual mengikut US dollar dan pegging of US dollar dengan Ringgit Malaysia menyebabkan satu keuntungan luar biasa bagi syarikat-syarikat kelapa, penanam-penanam kelapa sawit yang estet-estet yang besar. Oleh itu dikenakan undang-undang Akta Levi Keuntungan Luar Biasa. Saya dengar pembahas-pembahas lain yang mengemukakan pelbagai tuntutan tetapi saya ingin menegaskan bahawa kita perlu asas-asas saya lihat Akta Ibu tentang windfall profit levy atau Akta Levi Keuntungan Luar Biasa yang memberikan kuasa yang besar kepada Menteri untuk menetapkan amaun levi dan juga in position of levy windfall profit derived from the production of goods, untuk barangan-barangan dan tidak terhad kepada kelapa sawit. Itu satu kuasa yang besar dan saya ingin mengingatkan Menteri yang berkenaan Menteri Kewangan. Apabila menggunakan kuasa ini hendaklah memastikan bahawa prinsip-prinsip ekonomi moden ataupun percukaian (taxation) perlu mematuhi prinsip-prinsip percukaian yang moden. Ini kerana pada impose profit levy pada kelapa sawit sebenarnya— West Malaysia melebihi RM2,500 setan dikenakan 3 peratus dan East Malaysia RM3,000 dikenakan 1.5 peratus dan kutipannya, saya menanyakan satu soalan pada - saya kemukakan soalan kepada SUDR pada 11 Ogos. Dua bulan kemudian saya masih belum menerima, hari ini hari terakhir mesyuarat Parlimen, saya masih belum menerima soalan bertulis saya. Jawapan kepada soalan bertulis saya. Soalan yang saya tanya, berapa kutipan untuk di bawah windfall profit ataupun untuk sejak diperkenalkan, sejak Akta 1998 apakah,

Tuan Wong Hon WaiDAP · PHBukit Bendera

berapakah windfall profit yang telah kita ataupun levi keuntungan luar biasa yang telah dikutip oleh kerajaan. Hari ini saya belum, dua bulan saya tanya soalan jawapan pun saya tidak terima. Akan tetapi mengikut perkiraan saya, pengumuman-pengumuman oleh Malaysian Palm Oil Board (MPOB) dijangka tahun 2021 dijangka kerajaan akan menerima RM500 juta. Kalau mengikut perkiraan saya, di bawah Pre-Budget Statement (PBS) oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dan estimated target revenue untuk kita ialah RM126.21 bilion di mana adalah 10.3 peratus gross domestic product (GDP). Windfall profit hanya RM500 juta oleh itu hanya 0.003 peratus daripada profit daripada seluruh cukai yang kita bawa. Saya ingin menegaskan bahawa beban cukai, beban levi hendaklah juga dipastikan tax burden must be on the planters, mesti kepada estet-estet dan tidak di-transfer kepada consumer, pengguna-pengguna dan juga intermediate untuk mematuhi bahawa ini perlu memastikan bahawa penggunaan akta ini dikenakan atas asas-asas yang kukuh dengan formula yang berpatutan dan jugalah hendak disemak dari semasa ke semasa. Ini kerana sebelum ini perintah terhadap windfall profit dikenakan tahun 2008 sudah 13 tahun tidak disemak. Terdapat perubahan besar terhadap harga-harga kelapa sawit dan minggu ini sudah mencecah RM5,000 setan dan merupakan satu angka yang tinggi, angka yang tinggi untuk tahun ini dan tiada sebarang perubahan terhadap levi keuntungan ini sudah sekian lama. Menurut kajian bahawa perlu ada semakan semula dan saya harap semua ini diberikan satu jawapan dan juga pertimbangan oleh Menteri. Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.

Terima kasih.

Papar.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Beruas.

Yang Berhormat Papar kemudian Yang Berhormat Beruas. Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, oh! Sorry? Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu lima minit, Yang Berhormat Papar. Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, kemudian siapa lagi?

Datuk Seri Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Lagi empat ya?

Datuk Seri Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

Ya. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Saya sangat hargai.

Lima minit ya, boleh Yang Berhormat Menteri lima minit.

Datuk Seri Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

Saya sangat hargai kesediaan Speaker untuk bagi ruang saya bahas Rang Undang-undang Akta Levi Keuntungan.

Datuk Seri Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

Ini adalah cerita mengenai pengurusan fiskal kerana pandemik COVID-19, pendapatan negara terjejas kerana cukai korporat berkurangan, cukai pendapatan berkurangan. Semalam Dewan, kita terpaksa luluskan Akta KWAN sebab RM5 bilion kita ambil dari situ. Kita pun nak tambah RM45 bilion lagi untuk membiayai pelbagai bantuan rakyat dan RM45 bilion itu semalam disebut oleh Menteri Kewangan, kerajaan pinjam. Apabila pinjam, kita terpaksa naikkan siling hutang dengan GDP pada 65 peratus. Dengan latar belakang ini Tuan Yang di-Pertua, kita tahu bahawa tekanan kepada revenue negara itu sangat kuat. Ini kerana, setiap sen yang menjadi pendapatan negara, kita dah ada komitmen tetap nak bayar hutang. Semalam, Menteri Kewangan sebut, bagi

Datuk Seri Saifuddin Nasution bin IsmailPKR · PHKulim-Bandar Baharu

setiap RM1, kita kena bayar sampai 18 sen. Ini debt services ini bila sampai tahap hampir 20 persen itu maknanya berat. Subsidi juga kena tambah. Emolumen, itu tidak boleh ubah. Bayaran pencen. Jadi, pencen, emolumen, subsidi dan bayaran khidmat hutang memberikan tekanan kepada pendapatan negara. Oleh sebab itulah, apabila kita bentangkan cadangan untuk meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa ini, akhirnya kita berharap pendapatan negara akan meningkat. Jadi Tuan Yang di-Pertua, pada masa yang sama, saya faham kerajaan juga berdepan dengan beberapa physical constraints. Misalnya masa kita bentang Bajet 2021, kerajaan kata defisit lebih kurang lima peratuslah. Akan tetapi, dengan keadaan sekarang, saya jangka defisit hampir mencecah tujuh peratus. Kerajaan juga kena uruskan soal defisit itu. Oleh sebab itu, pada 29 Oktober bulan ini, kita pun akan bentangkan juga bajet. Bajet itu mesti bersifat budget expansionary. Bajet di mana kita kena belanja duit. Bila belanja, barulah ekonomi akan berkembang. Jadi ketika liabiliti kita juga besar. Menteri Kewangan sebut sehingga RM1.4 trilion, maka saya ingin dalam perbahasan ini bertanyakan kepada kerajaan dalam masa dua minit terakhir. Pertama, apakah Kementerian Kewangan khususnya, bersedia untuk melihat kembali pengagihan bajet bagi sektor atau segmen yang sebenarnya tidak menjadi keutamaan? Ia masuk dalam bajet, tetapi kerana masalah pandemik, keperluan kepada meningkatkan subsidi, keperluan kepada pakej bantuan rakyat yang lain, keutamaan kepada perbelanjaan kesihatan, apakah boleh kementerian atas bajet yang telah dibuat, tetapi melakukan pengagihan atau penstrukturan semula? Saya bagi contoh, bila saya semak dalam buku bajet asal, banyak peruntukan di bawah tajuk ‘latihan’. Banyak, setiap kementerian ada perbelanjaan latihan. Banyak bajet di bawah R&D, banyak sangat. Jadi, apakah ini menjadi keutamaan ataupun pengagihan atau penstrukturan semula boleh dibuat untuk mengutamakan segmen yang menjadi keperluan rakyat yang terdesak buat masa ini? Itu isunya. Sementara R&D itu penting, tetapi jauh lebih penting sekarang adalah menguruskan kewangan yang terhad untuk segmen yang patut diberi keutamaan. Soalannya, apakah kementerian bersedia untuk melihat semula segmen itu dan menyusun semula? Ini kerana, rasional yang kita ada sekarang adalah komitmen yang besar yang kerajaan terpaksa tanggung ketika pendapatan semakin mengecil. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih. Yang Berhormat Papar.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Memang betul kerajaan kita sekarang memang kekurangan dana. Dengan itu, levi keuntungan luar biasa ini adalah untuk dijadikan titik perubahan dalam ekonomi untuk memberi sumbangan kepada pendapatan negara, rakyat dan juga perniagaan. Levi yang dikenakan ini adalah apabila misalnya, harga kelapa sawit setiap tan begitu tinggi. Akan tetapi, bagaimana pula apabila harga sawit ini terlalu rendah dan tidak boleh menampung kos operasi syarikat atau ladang-ladang tersebut di mana apabila ladang-ladang ini menanggung kerugian, maka mereka tidak akan dapat melaksanakan semua program rehabilitasi ladang. Jadi saya ingin juga bertanya kepada kerajaan, di waktu ladang-ladang ini mengalami kerugian dan tidak dapat menjalankan dan melaksanakan program-program yang ada, apakah kerajaan telah ataupun pernah memberi bantuan ataupun subsidi kepada mereka ini. Perlu diingat, setiap rehabilitasi yang telah dijadualkan apabila tidak dilaksanakan, maka tahun berikutnya atau tahun berikutnya, ia akan dilaksanakan. Ini akan mengambil belanja yang begitu besar. Jadi, soalan saya ialah adakah kerajaan pernah memberi bantuan atau subsidi kepada syarikat-syarikat ini di kala harga sawit terlalu rendah? Kalau adapun, berapakah bantuan atau subsidi yang pernah diberikan kepada syarikat-syarikat ini dan berapakah

syarikat-syarikat yang telah terlibat? Jangan pula apabila hanya syarikat-syarikat ataupun ladang-ladang ini untung, di situlah kerajaan ingin mengenakan levi. Jadi, kita haruslah waras apabila kita mengenakan levi kepada syarikat-syarikat ini. Tuan Yang di-Pertua, minggu lalu kontrak bulan aktif minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives bagi bulan Oktober 2021 dibuka pada paras RM5,000 lebih satu tan. Hari ini selepas mencecah paras tertinggi RM5,000 lebih satu tan pada sesi dagangan Selasa sebelum ditutup pada paras RM4,900 satu tan. Berdasarkan trend semasa MSM di pasaran, potensi hasil kutipan levi keuntungan luar biasa atas keluaran buah tandan segar oleh sektor ladang kelapa sawit mampu mencecah RM1 bilion sepanjang tempoh tahun 2021. Levi dikenakan pada kadar tiga peratus bagi harga sawit melebihi RM2,500 satu tan di Semenanjung dan 1.5 peratus bagi kelapa sawit di Sarawak yang melebihi RM3,000 satu tan. Sabah dilaporkan menikmati hasil cukai jualan hampir RM1 bilion pada tahun 2020 ekoran kenaikan harga minyak sawit untuk lima tahun pertama. Tahun 2021 pula, Sabah dianggarkan mendapat hampir RM500 juta hasil cukai jualan. Tuan Yang di-Pertua, Malaysia menghasilkan sekitar 20 juta metrik tan minyak sawit setahun. Ia menghasilkan pendapatan sekitar RM70 bilion untuk Malaysia, tetapi peruntukan untuk industri berkenaan sangat kecil iaitu tidak sampai satu persen. Sehubungan dengan itu, saya menggesa agar Kementerian Kewangan memberi lebih banyak peruntukan bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk komoditi sawit dan pengeluaran lebih banyak produk hiliran. Begitu juga peruntukan bagi mempercepatkan mekanisasi dan automasi di sektor kelapa sawit untuk mengurangkan kebergantungan sektor perladangan terhadap tenaga kerja, sekali gus dapat membantu meningkatkan produktiviti. Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya ingin meminta penjelasan, berapakah jumlah levi yang dikutip daripada sektor sawit di Sabah dalam tempoh lima tahun yang lalu? Kedua, berapa pula peruntukan yang disediakan bagi membangunkan produk hiliran sawit di Sabah? Ketiga, apakah kerajaan tidak akan memberi pengecualian cukai jualan untuk jentera-jentera baharu yang diguna pakai untuk perladangan? Keempat, apakah penalti yang akan dikenakan kepada pembayar cukai levi yang masih belum membayar selepas hari terakhir levi itu kena bayar?

Kelima, apakah remedi kepada syarikat yang terlebih bayar levi kepada kastam dan berapakah levi yang telah terlebih bayar sehingga kini? Berapa syarikat yang terlibat? Keenam, apakah mekanisme yang boleh dirancang oleh kerajaan supaya syarikat ataupun ladang-ladang kelapa sawit ini tidak akan terlepas daripada membayar cukai levi luar biasa ini? Sekian terima kasih.

Yang Berhormat Beruas, kemudian Yang Berhormat Kepong. Selepas itu Yang Berhormat Pasir Gudang. Last, boleh? Sila Yang Berhormat Beruas.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di- Pertua. Saya bangun untuk bahas rang undang-undang untuk meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998. Saya ingin menyentuh dari tiga aspek. Tuan Yang di-Pertua, pertama Malaysia tidak harus ada undang-undang levi keuntungan luar biasa kalau kita hendak menjadi satu pusat perniagaan dan industri. If we want to be one of the world centres of commerce and industry, we must not have this windfall tax dengan izin. Ini adalah kerana isu cukai ini mesti ada kepastian. Jika tidak, pelabur-pelabur tidak akan ada keyakinan tentang negara kita. Kita tidak boleh sewenang- wenang atau tiba-tiba mengenakan cukai ke atas mana-mana industri. Dengan izin, it is short-term gains, but long-term pays.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Saiz ekonomi Vietnam telah pun melepasi ekonomi Malaysia. Kita mesti tahu bahawa sungguhpun ada kalanya berlakunya keuntungan luar biasa tetapi bagi peniaga- peniaga dan pengusaha-pengusaha juga kerap kali berlakunya kerugian yang melampau, catastrophic loses hinggakan perniagaan mesti ditutup dan kerugian sepenuhnya pelaburan mereka. Ini berlaku lebih kurang setiap 10 tahun sekali. Kita tahu economy crisis tahun 1987. Kemudian crisis economy tahun 1997 dan kemudian tahun crisis economy tahun 2008 dan sekarang tahun 2009 hingga hari ini, krisis menyebabkan banyak pelaburan hangus terus. Oleh hal demikian, jika berlakunya kadang-kadang keuntungan luar biasa pengusaha-pengusaha itu harus dibenarkan untuk menikmatinya kerana untuk mendapat balik pelaburan yang hangus apabila berlaku krisis ekonomi. Sebagai contoh Tuan Yang di-Pertua, ramai menyatakan pengusaha-pengusaha industri sarung tangan, glove industry untung banyak dalam masa pandemik COVID-19. Sebagai contoh kita nampak Dato' Seri Stanley Thai yang menerajui Supermax Corporation Berhad untung banyak tetapi ramai tidak tahu syarikat beliau tahun 2009 APL produk Sendirian Berhad yang merupakan syarikat sarung tangan yang diterajui oleh beliau menjadi muflis dan digulung pada tahun 2009. Jadi kita mesti tahu tentang risiko setiap industri. Marilah kita berpuas hatilah apabila mereka lebih untung kerajaan pun mengenakan cukai pendapatan sebanyak 24 peratus. Janganlah kita terlalu gelojoh hinggakan syarikat-syarikat ini akan pergi ke luar negara kerana keadaan yang lebih selesa di luar. Memang ikut satu anggaran, syarikat rakyat Malaysia ini yang melabur ke luar negara lebih kurang sama nilainya dengan pelaburan asing yang datang. Kalau pelabur- pelabur berada di Malaysia, janganlah kita usir mereka ke negara yang lain. Oleh kerana cukai kita telah mencecah RM1.3 bilion adalah penting kita meluaskan atau we must enlarge our economy supaya keuntungan kita akan lebih untuk jangka masa yang panjang. Kalau semua pelabur ini dihalau ataupun there is a push factor untuk mereka keluar negara, nanti akibatnya kita yang menjadi semakin miskin kalau berbanding dengan negara lain. Saya akan cepat. Isu kedua, jika masih kita hendak mengenakan levi keuntungan luar biasa, kita haruslah mengambil kira lain-lain cukai yang sudah dikenakan ke atas sesuatu industri dan ia sememangnya satu keuntungan luar biasa. Sebagai contoh industri kelapa sawit. Kerajaan telah mengenakan lima jenis cukai ke atas industri sawit ini. Cukai pertama MPOB SES, kedua, cukai eksport, ketiga cukai jualan untuk Sabah dan Sarawak. Keempat, cukai luar biasa dan kelima, cukai pendapatan korporat atau individu. Kalau kita cantumkan atau jumlahkan kelima-lima jenis cukai ini ia bersamaan dengan 60 peratus cukai korporat. Adakah ini adil? Adakah keadaan ini baik untuk industri ini? Oleh sebab itu Indonesia jauh lebih ke depan daripada kita. Dulu kita memang menerajui industri ini dengan baik. Indonesia lebih berkembang dengan baik kerana keadaan di sana lebih memihak kepada mereka untuk industri ini berkembang. Janganlah kita —industri ini yang begitu baik telah memberikan kekayaan kepada negara kita ini, satu hari ini hangus kerana beban cukai yang berlebihan. Daripada segi ini, saya ingin menyatakan kos mengeluarkan FFB atau CPO ini sudah pun naik sejak tahun 1998 apabila undang-undang ini diperkenalkan. Untuk hari ini, break-even point dengan izin, untuk satu metrik tan CPO harganya mestilah lebih kurang RM2,000 dan adalah tidak munasabah kerajaan menetapkan RM2,500 sebagai tahap di mana cukai levi, keuntungan lebih ini dikenakan kerana kalau dengan harga RM2,500 satu ekar tanah kita hanya dapat lebih kurang RM100 sebulan. Kalau seorang pekebun kecil lima ekar RM500 sahaja sebulan. Ini jauh lebih rendah daripada gaji minimum. Oleh hal demikian, kalau kerajaan masih hendak mengenakan cukai levi keuntungan luar biasa ini, naikkan apabila CPO RM5,000 satu metrik tan barulah dikatakan ia satu cukai luar biasa.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Akhir sekali dengan ringkas. Tuan Yang di-Pertua ialah gambaran palsu bahawa sesuatu industri ini mendapat keuntungan luar biasa kerana ada undang-undang cukai yang tidak membenarkan kerugian yang lampau diambil kira. Satu contohnya ialah contoh industri tanaman pokok kayunya. Kita tahu untuk industri ini kalau kita hendak tebang ataupun menuai hasil pokok-pokok ini ia mengambil masa 15 tahun hingga 30 tahun. Akan tetapi, kerajaan tidak membenarkan dengan undang-undang yang sedia ada, kerajaan tidak membenarkan kerugian yang dialami oleh syarikat-syarikat ini semasa menanam pokok-pokok ini— kalau kerugian ini sudah melebihi tujuh tahun. Ini tidak adil kalau satu hari nanti ditebang pokok dikatakan meraih keuntungan yang berlebihan, pada hal masa 15 tahun – 20 tahun itu, kerugian yang dialami semasa menanam itu tidak diambil kira.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Pengusaha-pengusaha industri ini pun segera mengemukakan isu ini kepada kerajaan. Malangnya, kerajaan masih belum membuat keputusan bahawa bagi industri ini kerugian yang melebihi tujuh tahun ini boleh diambil kira semasa mengambil kira keuntungan syarikat. Itu sahaja, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Kepong. Kemudian Yang Berhormat Pasir Gudang.

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Kuala Selangor sikit.

Tuan Lim Lip EngDAP · PHKepong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Kuala Selangor pun?

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Ya. Sedikit sahaja.

Saya ada lagi dua usul.

Tuan Lim Lip EngDAP · PHKepong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Kuala Selangor last ya. Lima minit, lima minit Yang Berhormat Pasir Gudang. Okey, silakan Yang Berhormat Kepong.

Tuan Lim Lip EngDAP · PHKepong

Ya. Tidak dinafikan pengenaan levi atau cukai keuntungan luar biasa ini kepada syarikat-syarikat gergasi adalah sesuatu yang baik terutama sekali apabila syarikat tersebut sentiasa mengaut keuntungan yang tinggi. Walau bagaimanapun, dalam keadaan ekonomi Malaysia yang tidak stabil dan juga dengan kebanyakan industri tidak mempunyai keuntungan yang stabil, keperluan levi keuntungan luar biasa perlu diperhalusi dan dikaji dengan lebih teliti sebelum dilaksanakan. Perlu kita fahami di sini bahawa keuntungan yang diraih oleh sesetengah industri seperti kelapa sawit, dan sarung tangan (glove) adalah disebabkan tuah waktu dan keadaan. Kita perlu fahami pandemik COVID-19 ini adalah situasi di mana tiada siapa yang dapat menjangka kejadiannya dan syarikat-syarikat ini juga tidak mendapat keuntungan yang tinggi sebelum pandemik COVID-19 melanda. Malahan, banyak syarikat ini juga sebelum ini bergelut dan ada yang terpaksa bungkus sebelum pandemik ini. Pada ketika mereka menghadapi masalah tersebut juga, ada daripada syarikat ini tidak mendapat bantuan daripada pihak kerajaan. Pengenaan levi keuntungan luar biasa pada ketika mereka mendapat keuntungan yang tinggi sekarang dilihat tidak adil kerana ia datang secara tiba-tiba. Seterusnya kita juga perlu fahamkan bahawa keuntungan juga tidak bersifat kekal atau konsisten dengan izin dan dalam situasi ini syarikat-syarikat ini mendapat keuntungan di dalam waktu yang sangat tidak dijangka. Persoalan yang harus kita

Tuan Lim Lip EngDAP · PHKepong

pertimbangkan di sini adalah apakah keuntungan ini akan konsisten pasca COVID-19? Jika kita lihat trend terkini, keuntungan syarikat-syarikat yang terbabit ini juga sudah mula menurun. Soalan saya, pengenaan levi keuntungan luar biasa ini juga berkemungkinan akan menakutkan pelabur-pelabur asing dan juga pelabur-pelabur tempatan daripada melabur di Malaysia. Akhir sekali, cukai keuntungan luar biasa ini adalah inisiatif yang bagus. Walaupun begitu, kita perlu kaji dengan lebih teliti industri mana yang seharusnya dikenakan levi. Adalah lebih baik levi ini dikenakan kepada industri-industri yang mengaut keuntungan yang tinggi secara konsisten dan bukan kepada syarikat yang meraih keuntungan secara tiba-tiba. Itu sahaja, terima kasih.

Yang Berhormat Pasir Gudang.

Tuan Hassan bin Abdul KarimPKR · PHPasir Gudang

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya bersetuju dan akan menyokong rang undang-undang meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa. Namanya pun keuntungan luar biasa. Kita telah mendengar Rancangan Malaysia Kedua Belas akan memerlukan sejumlah dana yang besar, RM400 bilion. Jadi, di mana kita hendak dapat wang sebanyak itu? Tidaklah semuanya perlu kita dapat secara berhutang. Ertinya sistem cukai ini eloklah diperbaiki. Kalau perlu dipinda, dipindalah kerana ia akan memberi hasil kepada negara. Jadi dalam hal ini, saya melihat ada keperluan kerajaan untuk jangka panjang memikirkan sudah sampai masanya sistem cukai capital gain tax ini diperkenalkan. Begitu juga dengan cukai berkenaan harta pusaka (inheritance tax). Maknanya dalam keadaan negara kita susah, ramai rakyat susah, orang yang kaya sama-samalah kita membantu rakyat yang miskin untuk dibela oleh kerajaan dan negara kita. Dalam hal ini Tuan Yang di-Pertua, dalam waktu kita membincangkan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa ini, kita telah mendengar pendedahan Pandora Papers yang melibatkan sejumlah wang yang besar yang dikumpul, dihimpun oleh rakyat kita di pusat- pusat kewangan pesisir luar yang dikecualikan daripada cukai termasuk di Singapura, di British Virgin Islands dan beberapa lagi. Mungkin maklumat ini saya rasa bukan surat layang, bukan hearsay. Jadi dalam hal ini, saya mohon supaya agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah serta kastam ambil serius tentang pendedahan Pandora Papers ini. Siasat perkara ini. Ini bukan kertas surat layang. Siasat. Mungkin ada ramai disebut dari tempoh 2004 hingga 2014 seramai 1,500 rakyat Malaysia yang terlibat membuka akaun, saham, modal mereka di pusat-pusat pesisir luar ini. Ramai, 1,500 orang dan jumlah yang terhimpun dikatakan amat menakutkan jumlahnya. Sebanyak RM1.8 trilion. Jadi siasat, betul atau tidak. Dalam jumlah itu mungkin ada yang tidak melanggar peraturan negara. Mungkin ada yang melanggar. Yang melanggar peraturan negara itu, agensi-agensi kerajaan bolehlah ambil tindakan undang- undang yang sepatutnya. Manakala bagi mereka yang tidak melanggar undang-undang tetapi telah menghimpun kekayaan dan mendapat keuntungan yang besar, elok juga dilibatkan supaya mereka membayar cukai kepada negara kita ini. Sebab kekayaan mereka itu datang dari bumi Malaysia ini, maka sama-samalah berkongsi keuntungan itu dengan rakyat Malaysia yang lain. Jadi Tuan Yang di-Pertua, itu sahaja perkongsian saya dalam membahaskan rang undang-undang pindaan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa ini. Terima kasih.

Yang Berhormat Kuala Selangor.

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya memerhatikan tujuan dibentang pindaan undang-undang kepada

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 Tuan Yang di-Pertua. Secara khususnya adalah untuk meminta secara lebih khusus fasal 2 yang bertujuan menggantikan seksyen 13 akta ibu 592 itu dan juga fasal 3 untuk menggantikan seksyen 14 Akta 592 itu untuk memberikan mana-mana orang yang telah terlebih bayar dan sebagainya. Itu pada saya adalah sifat yang tidak terlalu teknikal dan tidak menyinggung dan menggarap keperluan perbahasan yang dibuat dalam tahap peringkat dasar ini Tuan Yang di-Pertua. Lalu saya mahu mengambil sedikit masa seringkasnya untuk mengingatkan kita kembali supaya kerajaan – sebuah kerajaan yang kuat adalah kerajaan yang menyediakan dalam tadbir urus dan governance sesebuah negara itu apa yang dikatakan sebagai peranan sebuah kerajaan untuk menyediakan apa yang diistilahkan sebagai a strong incentive structure, dengan izin bagaimana untuk menggalakkan players ataupun economic actors yang rasa terpanggil dan tertarik untuk membuat pelaburan sama ada pelaburan itu sifatnya adalah domestik ataupun pelaburan itu sifatnya adalah asing (foreign). DDI atau FDI.

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Jadi dengan kata lain sebuah kerajaan yang sentiasa perlu membuat perimbangan antara revenue, pendapatan dan juga perbelanjaan, jangan mudah-mudah mengambil jalan pintas untuk mendapatkan revenue andainya kalau kita tidak dapat akhirnya menginstitusikan langkah-langkah incentive structure, strong institution untuk sesebuah negara itu terutamanya negara kita ini yang dalam hal post-pandemic pengurusan ekonomi dan kewangan kita ini. Kita bercakap tentang mengenakan levi keuntungan luar biasa ataupun super normal profit ini dan dalam waktu yang sama kita sangat culas dan sangat cuai untuk menangani apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Port Dickson dan ramai Ahli-ahli Parlimen yang lain tentang bagaimana culasnya kita dari sudut governance menangani hari ini disebutkan dengan istilah Pandora Papers. Satu masa dahulu saya ingat pada penggal pertama saya di Parlimen kita bercakap tentang GFI, Global Financial Integrity yang juga melibatkan hari ini sudah sampai ke peringkat RM1.8 trilion yang mengalir keluar secara tidak dapat dipertanggungjawabkan. Kita tidak menuduh sama ada ia dirompak ataupun adalah hasil daripada apa pun sumber hasil itu tetapi pertanggungjawaban itu di mana strong institution of governance, sama ada dari sudut penguatkuasaan institusi-institusi kastam, maksudnya agensi-agensi penguatkuasaan itu andainya tidak menjadi satu yang bertanggungjawab mengurus pendapatan negara, berakhir dengan cara begini dan dengan mudah-mudah juga kita mahu mengenakan cukai keuntungan luar biasa. Saya tidak kata salah persoalan windfall tax ini tetapi jangan sampai syarikat- syarikat kita especially our local champion, syarikat yang pastinya telah membuat pelaburan besar untuk sama ada dalam investment, pelaburan, inovasi, kreativiti, teknologi, segala-galanya, R&D dan sebagainya. Ketika mereka mengecapi keuntungan- keuntungan dalam waktu-waktu tertentu, dalam musim-musim tertentu, kita kenakan levi keuntungan super normal ataupun luar biasa ini. Sementara pada waktu yang sama, kita mengizinkan mengalir keluar dana yang begitu besar dengan tidak dipertanggungjawabkan Tuan Yang di-Pertua. Itu yang menjadi ralat, yang menjadi satu yang akan ‘send the wrong message’ dengan izin kepada pelabur-pelabur sama ada yang mahu kekal melabur di negara kita atau yang hendak masuk untuk melabur dalam negara kita. Jadi, saya kira sangat songsang, sangat anomaly ataupun suasana ini. Sementara kita bebas, lepaskan mereka dengan Pandora Papers itu, kita sekarang ini bercakap tentang bagaimana untuk kita mendapatkan segera cukai dengan windfall tax ini yang mungkin juga akan ada downside, ada kemudaratannya juga. Jadi, saya mengambil sikap begitu dan mengingatkan kerajaan, akhirnya sebuah kerajaan itu perlu bertanggungjawab sebagai kerajaan untuk provide the correct appropriate incentive structures for economic actors untuk mereka terlibat dalam pelaburan, perniagaan. Di situlah akan wujudnya strong government, with the strong governance dan tadbir urus dan tidaklah perlu mengenakan cukai-cukai seumpama ini

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

apabila our local champions membuat keuntungan. Mungkin juga ada cara-cara lain untuk kita menggalakkan mereka terlibat dalam memberikan CSR dan sebagainya ataupun membuat pelaburan mereka sendiri untuk to achieve higher value-added industry ataupun perniagaan. Jadi khasnya sekarang ini post-pandemic ini di mana supply chain requirement, the global value chain memerlukan syarikat-syarikat kita yang, our local champions to be competitive. Itulah antara perkara yang hendak saya sedikit memberikan teguran dan komentar dalam peringkat dasar ini Tuan Yang di-Pertua.

Yang Berhormat.

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Tuan Yang di- Pertua, terima kasih.

Yang Berhormat Timbalan Menteri, sila 20 minit.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan I · Paya Besar

Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat seramai hampir 15 orang yang telah bersama-sama membahaskan Rang Undang-undang Keuntungan Luar Biasa ini yang telah dinyatakan beberapa pindaan. Saya meneliti setiap hujah daripada Ahli-ahli Yang Berhormat. Nampaknya ada pelbagai perkara yang dibangkitkan. Asasnya adalah niat murni untuk melihat bagaimana negara kita dapat bergerak maju ke hadapan. Tahniah dan syabas saya ucapkan Tuan Yang di-Pertua kepada Ahli-ahli Yang Berhormat. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, komponen hasil negara terletak kepada tiga komponen utama iaitu cukai langsung cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai. Ramai juga Ahli-ahli Yang Berhormat telah membangkitkan isu yang sama dan unjuran bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM219.6 bilion. Maknanya daripada cukai langsung sebanyak RM120 bilion, cukai tidak langsung RM42.4 bilion dan hasil bukan cukai sebanyak RM57.2 bilion. Apa yang saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini adalah berkaitan beberapa komponen cukai yang menyumbang kepada hasil negara pada tahun 2021. Pertamanya cukai pendapatan syarikat sebanyak RM56 bilion. Cukai pendapatan individu sebanyak RM42 bilion dan cukai petroleum seperti yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pontian sebentar tadi sebelum waktu tengah hari iaitu sebanyak RM10 bilion. Akan tetapi yang kita bincangkan pada hari ini adalah berkaitan levi keuntungan luar biasa yang telah diunjurkan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sebenarnya kerajaan tidak mengunjurkan untuk levi keuntungan luar biasa pada tahun ini tetapi selepas kita semak hasil pada tahun ini kita telah mengunjurkan sebanyak RM0.9 bilion, RM900 juta kita telah unjurkan. Namun untuk makluman Yang Berhormat, sehingga September 2021, kutipan telah mencecah kepada RM1.2 bilion. Ia bukanlah satu jumlah yang kecil dan ia bukanlah satu jumlah yang besar untuk dibandingkan dengan cukai-cukai yang telah saya nyatakan tadi, cukai pendapatan syarikat sebanyak RM56 bilion. Cukai pendapatan individu dan sebahagiannya sudah pasti individu yang memiliki syarikat mempunyai cukai yang kita cukaikan kepada mereka berada dalam banjaran yang tinggi iaitu 30 peratus. Walaupun kerajaan telah menimbangkan pada dua tahun yang lepas hanya 28 peratus tetapi disebabkan kita melihat ada keperluan untuk kita tingkatkan dua mata, jadi pada tahun 2021 kita kenakan 30 peratus kepada individu yang mempunyai cukai yang melebihi banjaran yang tertinggi. Mereka ini kebanyakannya adalah pemilik-pemilik syarikat yang disebut oleh Yang Berhormat Beruas dan Yang Berhormat Kepong. Saya meneliti ucapan Yang

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan I · Paya Besar

Berhormat Kuala Selangor tadi untuk kita melakukan perimbangan supaya kita tidak tersalah langkah dalam membuat langkah-langkah cukai. Itu sudah pastinya Kementerian Kewangan akan mengambil pertimbangan yang berat tentang perkara ini. Mengapa kita kenakan levi keuntungan luar biasa kepada minyak masak atau yang dipanggil Crude Palm Oil (CPO) dengan izin di Sabah dan Sarawak kita kenakan RM3,000 nilai ambang dengan caj levi 1.5 peratus. Manakala di Semenanjung RM2,500 nilai ambang atau dengan izin threshold value RM2,500 dengan cukai levi sebanyak tiga peratus. Ini semua adalah sudah pastinya seperti mana Yang Berhormat Pasir Gudang sebutkan tadi ia terlibat dan terkait dengan hasil tambahan negara walaupun tidak sebesar mana yang saya sebutkan awal tadi berbanding dengan cukai-cukai lain tetapi ia juga akan memberi nilai tambah kepada peningkatan hasil kewangan negara. Saya hendak beritahu kepada Dewan yang mulia ini...

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

[Bangun]

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

...Sekejap Yang Berhormat Beruas. Biar saya habis part ini. Subsidi minyak masak. Subsidi minyak masak pada tahun 2018 kita telah keluarkan sebanyak RM488.8 juta. Tahun 2019 sebanyak RM270 juta, tahun 2020 sebanyak RM528.3 juta manakala sehingga Ogos bagi tahun ini subsidi minyak masak adalah RM998.6 juta.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Kalau kita hendak bandingkan, levi yang telah kita kutip untuk kita agihkan kepada subsidi minyak masak ini tidak mencukupi sama sekalipun. Sebagai contoh, tahun 2018, kita kutip RM197.2 juta sahaja, subsidi yang telah kita keluarkan RM488.8 juta. Tahun 2021, seperti mana yang telah saya sebutkan tadi sehingga September, kita telah kutip RM1.2 bilion. Nampaknya ada sedikit surplus berbanding dengan subsidi minyak masak sehingga Ogos 2021 sebanyak RM998.6 juta. Inilah yang saya sebutkan tadi kita mesti berimbang dalam kita membuat langkah- langkah cukai dan sebarang pindaan yang ingin kita lakukan bukanlah satu tindakan yang harus kita lakukan secara tergopoh-gapah tanpa membuat libat urus dengan pemain- pemain industri. Ingin saya beritahu kepada Dewan yang mulia ini, Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua, levi keuntungan luar biasa ini bukanlah satu-satunya cukai yang dibayar oleh syarikat-syarikat komoditi. Prinsip asas cukai iaitu sekiranya tiada pendapatan, sepertimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi, mereka rugi, mereka tidak mempunyai keuntungan, mereka tidak akan dikenakan cukai. Walau bagaimanapun, sekiranya pendapatan yang diterima itu adalah tinggi, maka cukai yang perlu dibayar juga adalah tinggi. Dengan izin, the more you earn, the more you pay. Sebagai contoh, salah satu syarikat dan ada juga Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyatakan tentang nama syarikat-syarikat yang sering kali dibangkitkan dalam Dewan yang mulia ini. Contohnya sebuah syarikat komoditi sawit perlu membayar bukan sahaja levi keuntungan biasa seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Beruas tadi, mereka juga perlu membayar cukai pendapatan sebanyak 24 peratus. Mereka juga kena bayar levi pekerja asing, cukai oleh kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, duti eksport, cukai perkhidmatan, cukai jualan. Manakala pemilik syarikat, seperti mana yang telah saya sebutkan awal tadi, mereka juga akan membayar cukai individu mengikut kadar pendapatan yang lazimnya bayaran mereka tertinggi iaitu 30 peratus. Jadi, saya fikir dalam apa sekalipun, kerajaan semestinya akan membuat satu tindakan berasaskan libat urus kita dengan pemain-pemain industri. Sila, Yang Berhormat Beruas.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tadi Yang Berhormat Menteri pun telah menambah satu lagi levi ke atas industri sawit itu iaitu levi pekerja asing. Jadi, masalahnya adalah begini. Oleh kerana ada enam jenis cukai atas industri ini, kerajaan kadang-kadang tidak prihatin ataupun unconsciously industri kita ini

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

will not be competitive but akan jatuh ataupun akan tutup kalau harga sawit menurun sampai katakan CPO 2,000 kerana kosnya terlalu tinggi. Bukan sahaja kos tinggi, kita tahu baja pun naik mendadak baru-baru ini. Apa yang penting ialah cukai kerajaan yang membebankan. Tadi dikatakan tidak untung, tidak cukai. Tidak betul. Di Sabah dan Sarawak, mereka dikenakan cukai oleh kerajaan negeri sungguhpun rugi tetapi masih cukai. Kita mesti jaga industri ini yang telah membawa kekayaan kepada negara kita dan janganlah kerana tindakan kerajaan yang mengenakan bermacam-macam cukai ini hinggakan industri ini tutup kerana tidak dapat bersaing dengan negara lain dalam industri ini. [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Jadi, permintaan saya, kalau boleh cantumkan sekali gus, katakan cukai atas syarikat sawit ini 30 peratus, barulah kerajaan faham memang sudah tinggi cukainya. Sekarang ini sampai 60 peratus kalau dikira secara korporat ini, cukai korporat ini.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Yang Berhormat Beruas, Tuan Yang di- Pertua, Yang Berhormat tidak bolehlah mencampur-campur 24 campur 30 selepas itu campur 28. Itu bukan kaedah pengiraan yang sebenar. Kerana apa, sudah pastinya semasa kita menentukan kadar cukai tersebut, kita sudah membuat libat urus. Bukan sewenang-wenangnya kementerian mengambil tindakan. Kerana apa, Yang Berhormat? Kalau Yang Berhormat lihat, tidak semua― yang saya sebutkan tadi tahun 2021. Maknanya sehingga September 2021, kita sudah kutip RM1.2 bilion. Akan tetapi, Yang Berhormat tidak pula kita bincangkan pada tahun 2015, kerajaan hanya mengutip RM1 juta sahaja, Yang Berhormat. Itulah sebabnya apa-apa sahaja yang kerajaan lakukan, kerajaan harus melihat ekosistem yang meluas, bukan sahaja kita melihat ekosistem yang sepertimana Yang Berhormat sebutkan. Akan tetapi, kerajaan bagi jaminan kita akan pastikan syarikat yang berada di dalam Malaysia ini akan mendapat layanan yang sama seperti mana mereka berada di negara-negara lain. Itu yang pertama. Keduanya, Yang Berhormat Pontian dan Yang Berhormat Tebrau ada membangkitkan tentang kenapa kita tidak kenakan cukai kepada komoditi yang lain. Sudah pasti, Yang Berhormat, pada tahun 1999, ini berlaku semasa harga pasaran komoditi minyak sawit mentah kita anggapkan sebagai ia kekal dan konsisten. Harga komoditi ini lebih stabil, Yang Berhormat, tidak mudah terancam dengan krisis ekonomi berbanding dengan harga komoditi yang lain seperti getah yang lebih volatile, bergantung kepada permintaan dan penawaran di peringkat pasaran. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat, kementerian akan menimbang pelbagai cadangan sepertimana disebutkan tadi inheritance tax, capital gain tax dan juga komoditi- komoditi lain untuk kita lakukan perkara yang sama. Namun demikian, kerajaan tidak akan melakukan suatu tindakan tanpa kita meneliti dan membuat libat urus dengan pihak-pihak yang berkepentingan. Tuan Yang di-Pertua, saya ada berapa banyak masa lagi, Tuan Yang di-Pertua?

Tuan Yang di-Pertua

Silakan.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Okey. Yang Berhormat Pontian tidak ada tetapi saya rasa perkara ini penting. Yang Berhormat Pontian membangkitkan tentang ada tidak syarikat yang tidak membayar levi. Ini perkara yang penting kerana kita ada 3,067 syarikat pengeluar yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Setakat hari ini, saya dimaklumkan, terdapat 64 pengeluar berdaftar yang masih belum selesai membayar keuntungan levi. Sekiranya mereka lewat pada tarikh kena bayar, mereka akan dikenakan penalti sebanyak 10 peratus, 30 hari berikutnya 10 peratus, 30 hari berikutnya 10 peratus dan maksimum

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

adalah 50 peratus. Kerana apa syarikat lain boleh membayar, kenapa hanya 64 syarikat ini tidak membayar? Kenapa kadar di Semenanjung berbeza dengan Sabah dan Sarawak serta semakan kadar ini dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pontian, Yang Berhormat Tebrau dan Yang Berhormat Bukit Bendera. Nilai ambang atau threshold value CPO dan kadar levi ini ditetapkan berbeza antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak kerana, satunya, kita mengambil kira kos pengeluaran CPO lebih tinggi di Sabah dan Sarawak khususnya kos pengangkutan, kos tenaga kerja dan kerajaan mengambil maklum kenaikan kos pengeluaran CPO. Inilah perkara yang saya lihat ada pertembungan pandangan. Ada Ahli Yang Berhormat mengharapkan supaya threshold dan cukai levi ini tidak dinaikkan. Ada juga Yang Berhormat minta supaya threshold ini dikurangkan, levi ini ditingkatkan. Inilah perkara-perkara yang sudah pasti di pihak kerajaan akan meneliti dan pihak kerajaan akan mengumumkan dalam masa terdekat bagaimana keputusan kerajaan selepas kita membuat libat urus. Ini kerana kalau kita naikkan threshold, sudah pastinya ia akan memberi sedikit kelegaan kepada syarikat-syarikat pengeluar dan sekiranya kita menaikkan levi, yang akan untungnya adalah kerajaan kerana kita dapat kutip levi. Dalam keadaan ini, kita kena balance kerana sepertimana Yang Berhormat Kuala Selangor sebutkan tadi, kita tidak boleh membuat selalu tindakan yang tergopoh-gapah kerana ia melibatkan pelaburan- pelaburan syarikat dan kita juga mesti bersifat adil kepada pemain-pemain industri. Ada juga Yang Berhormat yang membangkitkan adakah kerajaan akan kenakan cukai kepada syarikat besar seperti Top Glove yang disebutkan di dalam Dewan ini. Saya sebenarnya tidak mahu hendak menyebut nama syarikat ini. Untung 11 kali ganda. Kemudian, syarikat perlu bayar cukai lebih kepada kerajaan. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan sentiasa mempunyai satu keadaan yang konsisten dalam apa sahaja pandangan yang diberikan oleh Yang Berhormat yang kita akan pertimbangkan.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Akan tetapi buat masa sekarang, kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan levi keuntungan luar biasa ke atas produk sarung tangan getah mahupun kepada lain-lain perniagaan yang menjana keuntungan berganda semasa krisis kesihatan melanda dunia. Sungguh pun tidak dikenakan levi, industri pengeluaran sarung tangan getah turut menyumbang spillover effect kepada ekonomi negara daripada segi cukai langsung dan cukai tidak langsung khususnya sepertimana yang telah saya sebutkan tadi adalah berkaitan dengan cukai pendapatan yang meningkat, di samping mereka juga telah dapat menyediakan peluang pekerjaan semasa krisis yang berlaku pada COVID-19.

Tuan Lim Lip EngDAP · PHKepong

Ya, ini saya sokong, sokong. Saya sokong.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Kepong kerana pertama kali Yang Berhormat Kepong sokong saya. Saya hendak melihat sepertimana yang telah disebutkan oleh syarikat Top Glove. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya kaitkan sedikit dalam penjelasan saya kerana banyak sangat perkara yang disebut oleh Ahli Yang Berhormat. Ini kerana perkara ini mesti kita perjelaskan. Sebagai contoh, seperti yang dilaporkan melalui kenyataan media syarikat Top Glove sendiri, pada tahun 2020 dan 2021, mereka telah membuat penambahan jumlah kilang mereka. 46 factories pada tahun 2020, tambah 48 factories, tambah lagi dua pada tahun 2021. Mereka telah membuka syarikat yang baharu di luar negara dan mereka telah menambah glove production lines, daripada 724 kepada 812. Paling pentingnya, mereka telah menambah jumlah pekerja daripada 21,000 kepada 22,000 orang. Itulah yang saya sebutkan tadi Tuan Yang di-Pertua, dengan izin spillover effect. Syarikat memperoleh tambah hasil jualan sebanyak 51 peratus pada tahun 2020 dan 91.6 peratus pada tahun 2021. Keuntungan yang mereka dapat ini Tuan Yang di-Pertua,

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

digunakan untuk membesarkan perniagaan, menambah pelaburan, penambahan kilang dan pejabat-pejabat pemasaran di luar negara. Apabila berlaku peningkatan jumlah kapasiti pengeluaran sarung tangan, sudah pasti syarikat juga akan menambah jumlah tenaga pekerja. Yang Berhormat daripada...

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Kalau boleh saya celah Timbalan Menteri? Sedikit.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Sekejap. Saya sedikit. Boleh saya selesaikan isu Top Glove ini?

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Ya, saya bercakap tentang Top Glove tadi atau dengan tidak menyebut mana-mana...

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Yang di-Pertua

Bagi habis Yang Berhormat.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Saya beri, jangan risau. Saya beri. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, banyak yang disebutkan tadi tentang RM400 juta yang telah diumumkan dalam Bajet 2021, sumbangan yang diterima oleh syarikat pengeluar sarung tangan. Izinkan saya memaklumkan Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua, Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd. telah menyumbang RM75 juta, Kossan Rubber Industries Bhd. menyumbang RM50 juta, Top Glove menyumbang RM185 juta melalui tiga anak syarikat Top Glove iaitu Flexitech sebanyak RM45 juta, GMP Medicare sebanyak RM90 juta, Top Glove Quality sebanyak RM50 juta dan Hartalega sebanyak RM90 juta. Ke mana wang ini dibelanjakan? Ini perkara pokok yang sentiasa dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Kita telah masukkan RM400 juta ini kepada Akaun Amanah Bencana dan kesemua peruntukan ini digunakan untuk menyokong sistem kesihatan dalam mengekang penularan COVID-19 di bawah fasiliti kesihatan di bawah KKM dan hospital pengajar di bawah KPT bagi menampung: (i) penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta; (ii) penyumberluaran sampel COVID-19 ke makmal swasta; dan (iii) pembersihan sisa klinikal dan sucihama serta keperluan perolehan peralatan bekalan pakai habis, ujian makmal dan ubatan. Sila Yang Berhormat Kuala Selangor.

Tuan Yang di-Pertua

Ya, Yang Berhormat Kuala Selangor.

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Terima kasih Timbalan Menteri. Saya sangat memahami dengan apa yang diterangkan oleh Timbalan Menteri khususnya dengan cara untuk— itulah prinsip yang saya sebutkan lebih awal tadi ya. Kerajaan berperanan untuk memberikan correct incentive structure untuk economic actors. Dengan kata lain juga government tax revenue, pendapatan kerajaan akan grow in tandem dengan growth yang berlaku di negara ini atau di industri. Sementara saya memahami semua itu Timbalan Menteri, cumanya saya mendengar jawapan yang dibuat oleh Timbalan Menteri tentang CSR yang mereka lakukan itu adalah sekali gus langsung untuk memberikan services dalam mengurus pandemik sama ada dalam sifatnya hospital-based ataupun health populations dan sebagainya. Cumanya satu yang saya ingin untuk cadangkan kerana testing kendiri ini adalah truly a game changer Timbalan Menteri. Padahal harganya hari ini, ia tidak tercapai dan ia tidak affordable, dengan izin. Tidak mampu rakyat seluruhnya untuk membuat kekerapan ujian kendiri saliva (air liur) itu. Jadi kalaulah diberikan komitmen— kerana komitmen untuk mensubsidi ujian kendiri saliva ini. Ini kerana adalah akhirnya nanti yang mendapat labanya, mendapat kebaikannya, yang mendapat keuntungannya adalah

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

industri-industri dan kilang-kilang ini sendiri dengan kita mengelakkan perebakan, penularan (outbreak) dan sebagainya. Saya kira itu adalah sangat penting untuk tidak dikenakan harga yang terlalu mahal dan digunakan apa-apa pun daripada CSR, kalaupun tidak windfall tax itu, oleh players industri sarung tangan ini, diperuntukkan untuk apa yang saya sebutkan tadi sebagai pembelian mengurangkan beban kepada rakyat. Terima kasih.

Tuan Karupaiya a/l MutusamiPKR · PHPadang Serai

Timbalan Menteri, sedikit, Timbalan Menteri.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Saya jawab dahulu Yang Berhormat Padang Serai.

Tuan Karupaiya a/l MutusamiPKR · PHPadang Serai

Okey, terima kasih Timbalan Menteri, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berkenaan Top Glove ini, Top Glove ini perlu lagi perhatian yang serius memandangkan mereka memberikan peluang pekerjaan di negara kita. Saya rasa seperti mana Timbalan Menteri beritahu 40 lebih kilang dibuka di kawasan itu. Pada masa yang sama juga, tekanan daripada pihak Thailand masih berada terhadap Top Glove memandangkan mereka yang supply susu getah dari Thailand. So, cadangan-cadangan sedang dinaikkan dari Thailand mengatakan mengapa Top Glove ini tidak buka kilang di Thailand dan sebagainya. Oleh itu, kita tidak beri ruang-ruang untuk hijrah ke tempat lain. Terima kasih Timbalan Menteri.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Padang Serai.

Tuan Yang di-Pertua

Rumuskan Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Tuan Yang di-Pertua?

Tuan Yang di-Pertua

Rumuskan ya.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Boleh. Saya lima minit lagi ya?

Tuan Yang di-Pertua

Ya.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Padang Serai. Itulah yang saya diberitahu, kerajaan belum buat apa-apa keputusan sebab kita kena menimbang semua maklumat melalui sesi libat urus yang telah dan sedang kita lakukan bagi memutuskan langkah inisiatif yang akan diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dalam Bajet 2022. Berkaitan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Selangor, saya amat memahami tentang keperluan dan keprihatinan kepada mereka untuk mendapatkan test kit kendiri. Ini juga kerajaan sedang menimbangkan apakah kaedah yang terbaik bagi membantu mereka yang memerlukan. Cumanya penggunaan wang yang berkaitan CSR yang telah dikeluarkan ini, saya akan minta supaya bahagian terbabit memberikan keutamaan kepada cadangan Yang Berhormat. Cumanya sekiranya hendak menggunakan windfall tax, buat masa sekarang ini kita belum sampai tahap kerana subsidi minyak masak sahaja Yang Berhormat melebihi daripada apa kutipan levi yang kita lakukan. Tuan Yang di-Pertua, saya cuma hendak pergi kepada yang terakhir. Ahli Yang Berhormat yang tidak sempat saya jawab, saya akan jawab secara bertulis, insya-Allah. Yang Berhormat Sepang membangkitkan tentang tidak setuju dengan pindaan seksyen 13 kerana yang asalnya lebih baik. Ini perkara yang sampai sekarang saya tidak faham kerana yang dahulunya, kita tidak memberikan kuasa kepada Menteri atau Ketua Pengarah untuk membuat remisi, pembayaran balik lebihan pinjaman ataupun untuk mengelakkan penalti yang dikenakan. Itu sebabnya peruntukan yang saya sebutkan tadi peruntukan sedia ada sebelum kita buat pindaan, tidak memberikan kuasa kepada Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Kastam untuk meremitkan levi mahupun penalti. Pindaan yang kita buat ini Yang Berhormat Sepang walaupun Yang Berhormat Sepang tidak ada dalam Dewan ini,

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Menteri dan Ketua Pengarah boleh mempertimbangkan untuk meremitkan levi dan penalti dalam keadaan tertentu yang munasabah. Sebagai contoh dalam situasi pandemik, pengeluar dikenakan penalti lewat bayar hari kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Maka Ketua Pengarah boleh mempertimbangkan remisi penalti ke atas lewat bayar, kuasa Yang Berhormat Menteri untuk melimitkan cukai dan kuasa Ketua Pengarah, melimitkan penalti ini juga selaras dengan perundangan cukai tidak langsung seperti Akta Kastam 1967, Akta Cukai Perkhidmatan 2018, dan Akta Cukai Jualan 2018. Tuan Yang di-Pertua, saya ingat itu menjawab.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Boleh jawab isu yang last sekali, yang saya bawa tentang mengambil kira kerugian yang dialami oleh syarikat dalam industri menanam pokok balak yang hanya dapat dihasilkan 15 hingga 30 tahun kemudian. Masa mereka menanam itu mereka ada kerugian tetapi undang-undang cukai sekarang ini tidak membenarkan kerugian di bawah lebih...

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Di bawah akta cukai mana Yang Berhormat?

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Saya difahamkan memang di bawah sistem cukai sekarang, mana-mana kerugian syarikat...

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Cukai mana Yang Berhormat?

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

...yang melebihi tujuh tahun tidak boleh dibawa ke tahun hadapan. Memang kerugian yang dialami oleh mana-mana syarikat boleh dibawa ke hadapan tetapi sampai tujuh tahun. Selepas itu tidak boleh. Ini boleh digunakan untuk syarikat biasa, tetapi untuk syarikat yang menanam pokok kayu balak ini hasilnya hanya 15 hingga 30 tahun kemudian nanti dikatakan mereka mendapat keuntungan berlebihan pula. Kita tidak ambil kira 15 tahun wang yang mereka gunakan untuk menanam dan memastikan pokok-pokok itu dapat menumbuh dengan baik. Kalau boleh isu ini, kerana saya mendapat aduan ini daripada persatuan berkenaan tentang isu ini.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Saya begini Yang Berhormat, apa komitmen saya Yang Berhormat bawa persatuan ini jumpa dengan saya, kita bincang dengan berkaitan kaedah...

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Sudah bincang banyak kali dengan Kementerian Kewangan, tetapi masih belum mendapat satu ketetapan.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Yang Berhormat sudah bincang dengan saya? Belumkan? Saya ingat itu sahaja Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih...

Yang Berhormat Paya Besar, Tuan Yang di-Pertua.

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Yang Berhormat Timbalan Menteri, kalau saya boleh singgung sedikit sahaja.

Saya menyokong cadangan yang dibuat oleh Yang Berhormat Beruas. Oleh kerana ini sangat penting untuk menggalakkan industri tanam semula kayu ini dapat digalakkan. Jadi cadangan Yang Berhormat Beruas itu harus diambil kira dan saya mencadangkan supaya industri tanaman pokok ini digalakkan dengan insentif cukai yang berpatutan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Tuan Yang di-Pertua, kita sebenarnya

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Yang Berhormat Timbalan Menteri, apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Sepang tadi maksudnya kalau boleh saya read his mind without his permission dengan izin adalah untuk dibentuk wujudnya satu oversights satu committee dan bukan diserah kepada hanya ketua pengarah (KP) ataupun Menteri dengan kata lain akan mendedahkan kepada discretionary power kalau tidak silap saya. Kalau boleh diwujudkan Select Committee

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

ataupun apa pun yang boleh menjadikan check and balance itu, governance aspect Yang Berhormat Timbalan Menteri. Terima kasih.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

Tuan Yang di-Pertua, apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Selangor selepas dia meneliti pemikiran Yang Berhormat Sepang adalah berkaitan tentang adakah akan berlaku kecurangan terhadap kuasa kepada Ketua Pengarah dan Menteri. Yang Berhormat Kuala Selangor, ini bukan perkara yang baharu. Ini selaras seperti mana yang saya telah nyatakan tadi dalam perundangan- perundangan percukaian, cukai jualan, cukai perkhidmatan dan Akta Kastam 1967. Sudah pasti kita sudah ada SOP dan prosedur tertentu dalam kita hendak mencadangkan supaya Menteri melimit-kan separuh atau dalam peratusan yang difikirkan oleh pihak jawatankuasa. Jangan risau Yang Berhormat. Keadaan ini...

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Terima kasih Yang Berhormat.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNPaya Besar

...telah berlaku dan bukan satu perkara yang baharu. Berkaitan dengan Yang Berhormat Beruas dan Yang Berhormat Rompin, itu sebabnya Yang Berhormat Beruas dan Yang Berhormat Rompin, saya terbuka untuk menerima sebarang pandangan betul Yang Berhormat. Apa yang berlaku dahulu mungkin Yang Berhormat tidak berapa puas hati, tetapi saya menjemput Yang Berhormat untuk membuat libat urus dengan pejabat saya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang. [Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa]

Ada perbahasan? Yang Berhormat Dungun.

Terima kasih Tuan Pengerusi. Di peringkat jawatankuasa rang undang-undang ini, ada beberapa isu yang ingin saya ketengahkan iaitu berkait dengan kerana dua penggantian seksyen 13 dan juga seksyen 14. Yang pertama saya ingin tahu maksud bahagian levi yang genap masa dalam seksyen 13(1). Yang kedua mengapakah wujud perbezaan bagi Yang Berhormat Menteri meremitkan levi dan Ketua Pengarah dalam meremitkan penalti dalam seksyen 13(1) dan seksyen 13(2) kerana pada seksyen asal seksyen 13 dalam akta asal hanya diberikan kuasa kepada Yang Berhormat Menteri. Jadi, pohon penjelasan. Seterusnya ialah penggantian seksyen 14 apakah maksud dibayar secara silap dalam seksyen 14(1) yang kedua jika wujud tuntutan bagi pembayaran balik selepas satu tahun. Apakah tuntutan ini sudah tidak layak. Seterusnya mengapakah tempoh pembayaran balik levi dan penalti kepada syarikat tidak dispesifik. Contohnya dalam masa sebulan dan di bawah seksyen 14(3) apakah maksud tidak patut memperkaya orang di dalam seksyen 14(1). Terima kasih Tuan Pengerusi.

Tuan Pengerusi

Terima kasih. Ada sesiapa lagi?

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Tuan Pengerusi, saya sekadar merakamkan sekali lagi apa yang saya bangkitkan lebih awal tadi supaya wujud satu ruang timbang tara andainya kalau pertikaian berlaku daripada yang memohon dan tidak diletakkan pada seorang peribadi Yang Berhormat Menteri ataupun ketua pengarahnya (KP). Itu yang saya hendak rakamkan. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Tuan Pengerusi

Terima kasih. Lagi? Kalau tidak ada saya persilakan Yang Berhormat Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Tuan Mohd Shahar bin AbdullahUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan I · Paya Besar

Tuan Pengerusi, terima kasih Ahli Yang Berhormat dari Dungun dan Yang Berhormat Kuala Selangor. Saya kira penjelasan saya sebentar tadi di peringkat dasar Yang Berhormat Kuala Selangor telah jelas. Ini bukan satu perkara yang baharu dan sudah pasti penambahbaikan di peringkat jawatankuasa di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, di peringkat Kementerian Kewangan melalui bahagian cukai kita akan meneliti setiap syor dan setiap pandangan kepada mereka yang sepatutnya menerima dengan dokumen- dokumen yang tertentu munasabah pasti kita akan lakukan. Itu sebabnya pindaan akta ini adalah untuk memberi keadilan kepada pengeluar syarikat dan penerima levi tersebut di pihak kerajaan. Kita tidak mahu ada ketidakadilan berlaku. Yang Berhormat Dungun membangkitkan isu tentang genap masa. Yang Berhormat Dungun, genap masa inilah mengikut tahap taksiran. Katakan tahun ini tahun taksiran 2021, maknanya genap masa yang sepatutnya bayar. Yang Berhormat Dungun juga membangkitkan isu yang significant kenapa ada dua. Yang Berhormat Menteri ada kuasa dan nampak sama pula kuasa dengan Yang Berbahagia Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Untuk makluman Yang Berhormat, di peringkat Ketua Pengarah hanya boleh melimit-kan penalti. Ia tidak boleh sampai ke levi, tetapi di peringkat Yang Berhormat Menteri Kewangan, ia akan boleh melimitkan dua, maknanya levi dan penalti. Sebagaimana yang telah saya nyatakan tadi, sebarang proses untuk kita melimitkan dan membuat resensi kepada syarikat pengeluar kita akan berlaku adil Tuan Pengerusi. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat.

Tuan Pengerusi

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. [Fasal-fasal 1 hingga 4 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang- undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah) dan diluluskan]

Usul-Usul Menteri Kewangan — AKTA PENDANAAN KERAJAAN 1983 [AKTA 275] - Memindah RM16,500 juta ke Kumpulan Wang PembangunanMotion

Tuan Haji Yamani Hafez bin MusaUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan II · Sipitang

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya majlis ini mengambil ketetapan supaya kerajaan memindahkan sebanyak RM16,500 juta iaitu baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 di bawah seksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) ke Kumpulan Wang Pembangunan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) bagi maksud kumpulan wang tersebut diluluskan. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk membentangkan satu resolusi berkaitan ketetapan pemindahan mengenai pemindahan wang terbitan Wang Kerajaan Malaysia (MGII) ke Kumpulan Wang Pembangunan (KWP) mengikut keperluan seksyen 4(b), Akta Perbadanan Kerajaan 1983 (Akta 275). Resolusi ini dibentangkan supaya kerajaan memindahkan sebanyak RM16,500 juta iaitu baki wang terimaan MGII tempoh Januari hingga Ogos 2021 ke Kumpulan Wang Pembangunan. Pemindahan ini dilaksanakan untuk menampung pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi serta perbelanjaan pembangunan. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kumpulan Wang Pembangunan ialah satu Kumpulan Wang Amanah Kerajaan yang ditubuhkan mengikut Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 bagi tujuan membiayai projek pembangunan. Salah satu sumber dana yang terdapat dalam akaun Kumpulan Wang Pembangunan adalah melalui pindahan dari akaun pinjaman yang disatukan. Seksyen 4(b) (Akta 275) memperuntukkan bahawa terimaan daripada terbitan pelaburan kerajaan Malaysia MGII hanya boleh dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan resolusi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sekuriti pinjaman berasaskan syariah ini telah diterbitkan oleh kerajaan di bawah Akta 275 dan antara tujuan utama terbitan berasakan syariah adalah bagi meningkatkan pembangunan pasaran kewangan Islam. Tuan Yang di-Pertua, dengan ini saya mohon mencadangkan resolusi berkaitan ketetapan pemindahan sebanyak RM16,500 juta iaitu baki wang MGII bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 ke Kumpulan Wang Pembangunan. Dimohon agar pemindahan ini diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ada yang menyokong?

Tuan Muslimin bin YahayaBERSATU · PNTimbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Sungai Besar

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah sekarang ini terbuka untuk dibahas. Yang Berhormat Lumut.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Jumlah yang diusulkan untuk dipindah itu adalah sebanyak RM16,500 juta ataupun RM16 setengah bilion ke akaun pembangunan kerajaan dan sumbernya adalah terbitan pelaburan seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri yang diperoleh dari bulan Januari hingga Ogos 2021.

Kita tidak berapa ingat bila terbitan pelaburan ini dimulakan, diumumkan dahulu dan saya ingin bertanya adakah jumlah ini sahaja jumlahnya atau sebahagian daripada jumlah terbitan yang diperoleh kerajaan dalam tempoh tersebut? Ertinya, tidak semua ataupun semua? Ini yang saya hendak mohonkan penjelasan kerana kita mempunyai program pembangunan seterusnya yang akan dibentangkan dalam belanjawan atau pun Bajet 2022. Jadi, tentunya sebahagian daripada cadangan-cadangan dalam belanjawan nanti untuk pembangunan juga memerlukan pendanaan yang mungkin mencapai RM80 bilion bagi tahun 2022 ini berdasarkan kepada jumlah RMKe-12 sebanyak RM400 bilion untuk tempoh lima tahun. Jadi, setahun lebih kurang dalam RM80 bilion. Jadi, kalau sumber ini tidak ada lagi ataupun kalau semuanya telah digunakan untuk tujuan-tujuan pada hari ini, adakah kita mempunyai satu sumber yang mencukupi? Ataupun kita akan membuat terbitan-terbitan lagi ataupun membuat pinjaman-pinjaman mudah daripada pihak-pihak yang dapat membantu dalam proses pembangunan ini. Kita juga ingin tahu sama ada kita masih lagi mempunyai hubungan dengan pembiaya-pembiaya dana antarabangsa ataupun sumbangan-sumbangan seperti daripada negara Jepun yang banyak membantu dalam proses pembangunan negara kita sebelum ini. Adakah kita masih lagi mempunyai kedudukan yang baik, hubungan yang baik dengan pihak-pihak penyumbang ini. Kalau ada, agak-agak berapakah jumlah yang kita boleh peroleh daripada sumber-sumber ini bagi menampung lebih kurang RM80 bilion pembangunan kita pada tahun 2022. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat Bayan Baru.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin berterima kasih kepada Yang Berhormat Menteri untuk membawa usul ini. Kita tahu bahawa duit yang sebanyak RM16.5 bilion ini adalah duit pinjaman melalui Malaysian Government Investment Issue. Jadi, ini ialah duit yang dipinjam untuk masa depan daripada kita kena bayar pada masa depan. Walau bagaimanapun, itu tujuan yang baik untuk pembangunan. Itu sebablah kerana duit ini duit pinjaman maka perlu kebertanggungjawaban, accountability. Di sini saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri daripada RM16.5 bilion ini, projek-projek pembangunan ini berapa antaranya adalah projek yang open tender dan ada berapa peratus yang direct negotiation? Kita hendak tahu projek-projek yang akan dibiayai melalui– okey kita hendak tahu projek-projek yang dibiayai di bawah RM16.5 bilion ini items yang akan dibiayai. Itu nombor satu. Kedua, apakah projek-projek yang direct negotiation? Berapa peratus yang open tender? Saya rasa itu ada satu rasa kebertanggungjawaban yang sangat penting supaya rakyat tahu bahawa duit yang mereka kena bayar pada masa-masa akan datang, anak cucu kita kena bayar dan kerajaan menggunakan duit tersebut secara bertanggungjawab. Saya juga ingin – dulu pada tahun lepas, Kementerian Kewangan pernah mengumumkan satu senarai projek-projek direct negotiation di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Sekarang saya pun ingin minta Yang Berhormat Menteri supaya umumkan projek- projek direct negotiation di bawah Kerajaan Perikatan Nasional. Ini kerana Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Yang Berhormat Pagoh sepanjang 17 bulan atau 18 bulan, apakah projek-projek masa itu? Kita tidak pertikaikan certain project memang perlu direct negotiation, terutamanya masa pandemik. Akan tetapi ada keperluan untuk— secara transparent, beritahu kepada rakyat. Projek apakah yang terpaksa buat direct negotiation? Jumlahnya berapa? Jadi, saya harap bahawa kalau dahulu boleh mengumumkan projek-projek direct negotiation under Pakatan Harapan, sekarang pun boleh mengumumkan projek-projek direct negotiation under Perikatan Nasional. Itu baru adil. Biarlah, dahulu apabila

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

umumkan 101 projek direct negotiation under Pakatan Harapan, kami di pihak sini jawab. Boleh jawab, no problem sebab memang ada projek yang memang perlu. Sekarang, kita pun harap bahawa kerajaan do the same thing. Jangan ada double standard. Itu sahaja daripada saya. Sekian, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Kalau tidak ada lagi, saya jemput Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.

Tuan Haji Yamani Hafez bin MusaUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan II · Sipitang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk soalan daripada Yang Berhormat Lumut tadi, terbitan keseluruhan MGII dari Januari hingga Ogos adalah sebanyak RM52.5 bilion selepas mengambil kira bayaran semula hutang yang matang RM29 bilion dan baki sehingga Ogos adalah sebanyak RM23.5 bilion. Pinjaman akan dilaksanakan sehingga bulan Disember. Strategi pembiayaan melalui terbitan bon sukuk kerajaan akan mempertimbangkan beberapa faktor utama termasuk tahap kecairan pasaran modal domestik dan permintaan daripada pelbagai kumpulan pelabur bagi memastikan sebarang pinjaman tambahan menerima sokongan padu pasaran kewangan. Secara amnya, kerajaan mempunyai pilihan untuk membuat pinjaman melalui pasaran luar negara ataupun domestik. Sehingga kini, pasaran bon domestik telah berjaya mengharungi krisis pandemik dan terus berfungsi dengan baik sepanjang tahun 2020 dan 2021. Kerajaan masih lagi dapat memanfaatkan pasaran bon domestik bagi tujuan pendanaan pada tahun 2021 dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan sekitar 2.1 kali dan pasaran bon sekunder juga kekal cair dengan purata jumlah dagangan harian bernilai RM4.1 bilion. Jumlah kecairan sistem perbankan juga stabil pada RM153.1 bilion pada akhir Ogos 2021. Selain itu, memastikan kecairan pasaran kekal stabil institusi perbankan dibenarkan menggunakan Sekuriti Kerajaan dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) untuk memenuhi pematuhan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) bagi tempoh 16 Mei 2020 hingga 31 hari bulan 2022. Program pinjaman 2022, rancangan pembiayaan akan diperincikan selepas pengumuman Bajet 2022 dan kerajaan akan masih lagi mengutamakan pinjaman dari dalam negeri dan domestik. Untuk Yang Berhormat Bayan Baru, saya tidak mempunyai cukup informasi tentang berapa banyak yang open tender dan direct negotiation. Namun bagaimanapun, kita mengambil cadangan dan makluman daripada Yang Berhormat.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Boleh Yang Berhormat Menteri, beri jawapan bertulis?

Ya. Boleh, boleh.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Boleh ya, komitmen? Boleh komitmen untuk jawapan bertulis?

Saya akan...

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Kalau boleh, mohon Tuan Yang di-Pertua minta Yang Berhormat Menteri hantar ke pejabat saya.

Tuan Yang di-Pertua

Ada Yang Berhormat sudah minta.

Tuan Sim Tze TzinPKR · PHBayan Baru

Terima kasih.

Dato’ Mahfuz bin Haji OmarAMANAH · PHPokok Sena

Yang Berhormat, saya bersetujulah itu untuk beri jawapan bertulis tetapi jangan pula jawab macam jawapan kepada saya, minta saya tengok portal. Itu jawapan daripada Yang Berhormat Kewangan, saya lapor kepada Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua tanya Yang Berhormat Menteri Kewangan, Yang Berhormat Menteri Kewangan kata dia still dengan keputusan suruh

Dato’ Mahfuz bin Haji OmarAMANAH · PHPokok Sena

saya tengok portal. Takkanlah mari tanya soalan di Parlimen, suruh kita tengok portal. Ini bukan pembelajaran PdPR. [Ketawa]

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa usul seperti yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan di bawah Perkara 3 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul hari ini hendaklah disetujukan.

[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]

Usul-Usul Menteri Kewangan — AKTA PENDANAAN KERAJAAN 1983 [AKTA 275] - Memindahkan RM7,000 juta ke Kumpulan Wang COVID-19Motion

Tuan Haji Yamani Hafez bin MusaUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan II · Sipitang

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya majlis ini juga mengambil ketetapan supaya kerajaan memindahkan sebanyak RM7,000 juta iaitu bagi terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 di bawah seksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) ke Kumpulan Wang COVID-19 seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 4(2) Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 [Akta 830] bagi maksud kumpulan wang tersebut diluluskan. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk membentangkan satu resolusi berkaitan dengan ketetapan mengenai pemindahan wang terbitan pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) ke Kumpulan Wang COVID-19 mengikut keperluan seksyen 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1893 [Akta 275] dan seksyen 4(2) Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 [Akta 830]. Resolusi ini dibentangkan supaya kerajaan memindahkan sebanyak RM7,000 juta iaitu baki penerimaan wang MGII bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 ke Kumpulan Wang COVID-19. Pemindahan ini dilaksanakan untuk menampung Pakej Rangsangan dan Pelan Pemulihan Ekonomi serta perbelanjaan pembangunan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kumpulan Wang COVID-19 telah ditubuhkan selaras dengan peruntukan di bawah Akta 830 yang telah diwartakan pada 26 Oktober 2020 bagi membiayai Pakej Rangsangan dan Pelan Pemulihan Ekonomi. Sumber dana Kumpulan Wang COVID-19 diperoleh melalui pindahan, terimaan, Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang ditadbir di bawah Akta Pinjaman Tempatan 1996 [Akta 637] serta MGII dan MITB di bawah Akta 275. Seksyen 4(b) Akta 275 memperuntukkan bahawa terimaan daripada Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) hanya boleh dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang COVID-19 setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dengan resolusi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sekuriti pinjaman berasaskan syariah ini telah diterbitkan oleh kerajaan di bawah Akta 275 dan antara tujuan utama terbitan berasaskan syariah adalah bagi meningkatkan pembangunan pasaran kewangan Islam. Tuan Yang di-Pertua, dengan ini saya mohon mencadangkan resolusi berkaitan ketetapan pemindahan sebanyak RM7,000 juta itu baki wang terimaan MGII bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 ke Kumpulan Wang COVID-19. Dimohon agar pemindahan ini diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ada sesiapa yang menyokong?

Datuk Seri Haji Ahmad bin HamzahUMNO · BNTimbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I · Jasin

Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya sekarang ini terbuka untuk dibahas. Yang Berhormat Lumut.

Terima kasih sekali lagi Tuan Yang di-Pertua. Saya hanya ingin menyambung ataupun mengulang sedikit sebanyak apa yang saya sebutkan dalam usul yang sebelum ini. Kalau baki tadi ada RM23 bilion daripada terbitan Januari hingga Ogos ini, ertinya jumlah RM7 bilion ini akan mengosongkanlah apa yang sudah dikutip sebanyak RM52 bilion untuk tempoh Januari hingga Ogos melalui Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia tadi. Jadi, walaupun terbitan ini akan berterusan disebut oleh Yang Berhormat Menteri tadi sehingga Disember, kalau lapan bulan pertama kita berjaya mengumpul RM52 bilion, jadi dalam empat bulan yang terakhir ini, adakah kita boleh mencapai satu jumlah yang munasabah bagi menampung cadangan perbelanjaan pembangunan RM80 bilion tahun 2022?

Kalau tidak boleh, soalan saya ialah bagaimanakah kerajaan akan mendapatkan sumber dana dan pinjaman dari manakah yang akan kita peroleh lagi ataupun ada terbitan-terbitan pelaburan lain yang berada di bawah akta yang sama Akta 275 ini yang boleh menampung jumlah tersebut. Soalan kedua saya khusus untuk RM7 bilion ini kita tidak menjadi halangan untuk menyokong kerana kita pun telah sama-sama sebulat suara dalam Dewan ini untuk menyokong pertambahan RM45 bilion untuk sebahagiannya aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 ini. Cuma, jumlah yang selebihnya untuk menampung keperluan itu datang daripada mana selain daripada RM7 bilion ini. Itu soalan yang saya ingin tanya terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua

Okey, Yang Berhormat Beruas.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya untuk dapatkan penjelasan lanjut wang yang diterbitkan ini yang diterima daripada Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia ini apakah terma-terma ataupun faedah ataupun ada syarat-syarat lain berkenaan dengan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia ini untuk dapat butir-butir lanjut.

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih. Lagi. Kalau tidak ada, Yang Berhormat Timbalan Menteri sila menjawab.

Tuan Haji Yamani Hafez bin MusaUMNO · BNTimbalan Menteri Kewangan II · Sipitang

Program pinjaman kerajaan digunakan untuk membiayai keperluan bagi perbelanjaan pembangunan dan pembiayaan pakej rangsangan ekonomi dan membiayai semula hutang yang matang. Kita mempunyai banyak instrumen dalam hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia, Malaysian Government Securities (MGS) yang merupakan instrumen hutang konvensional di bawah Akta Pinjaman Tempatan 1999 yang bertempoh matang tiga tahun hingga 30 tahun. Kita juga mempunyai terbitan yang seperti hari ini Pelaburan Kerajaan Malaysia, Malaysian Government Investment Issue (MGII) yang merupakan instrumen patuh syariah di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983. Begitu juga Bil Perbendaharaan Islam Malaysia, Malaysian Islamic Treasury Bills (MITB) dan Bil Perbendaharaan Malaysia, Malaysia Treasury Bills (MTB) yang merupakan juga instrumen patuh syariah di bawah Akta Bil Perbendaharaan Tempatan 1946. Menjawab soalan daripada Yang Berhormat Lumut tadi, I mean sekarang ini kita masih mampu, pasaran domestik masih mampu dan mempunyai kecairan untuk menampung hutang tersebut. Sudah tentu di luar pesisir, Malaysia juga boleh buat pinjaman seperti terbitan skop global dan sebagainya tetapi ia juga mempunyai syiling dan ia tidak boleh melebihi RM35 bilion. Jadi, jikalau perlu kita akan membuat pinjaman luar, jikalau perlu. Akan tetapi sekarang ini belum ada...

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKuala Selangor

Sikit Timbalan Menteri saya mencelah. Berapa peratus agaknya dalam pinjaman daripada luar pesisir, offshore dan daripada pasaran kewangan yang kita terbitkan, sejauh ini. What percentage that we committed on offshore external borrowing dalam pasaran kewangan itu. Terima kasih.

Dato’ Ngeh Koo HamDAP · PHBeruas

Sungguhpun tidak ada tadi dikatakan banyak instrumen. Secara amnya, apakah kos pinjaman apabila kerajaan mendapat pinjaman sedemikian, secara am? Two percent or three percent? Berapakah kosnya?

Setahu saya offshore sekarang ini ia merupakan tiga peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan. I think details about the instrumen-instrumen lain hutang itu mereka berbeza-beza daripada segi kosnya. Mungkin saya akan bagi secara detail, perincian secara bertulis. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa usul seperti yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan di bawah nombor empat dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul hari ini hendaklah disetujukan.

[Usul dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan]

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum saya tangguhkan Mesyuarat pada hari ini, izinkan saya memberi sedikit nota penutup. Ahli-ahli Yang Berhormat semua, sidang Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas telah berlangsung selama 17 hari dari hari Isnin 13 September hingga hari Selasa hari ini 12 Oktober 2021. Sepertimana semua Ahli Yang Berhormat sedia maklum, persidangan kali ini juga telah diadakan dengan mengambil kira cabaran penularan kes wabak COVID-19 di negara kita. Sehubungan dengan itu, pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan persidangan ini berjalan lancar, termasuk mewajibkan ujian RTK-AG Saliva secara berkala serta meningkatkan kualiti udara dalaman semua bangunan di Parlimen. Hasilnya, hanya sembilan kes COVID-19 telah dilaporkan yang semuanya berpunca daripada komuniti. Syukur tiada juga jangkitan atau kluster berlaku di dalam Parlimen Malaysia. Ahli-ahli Yang Berhormat semua, saya dan bagi pihak Timbalan Tuan Yang di- Pertua Dewan Rakyat ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan majlis mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, khususnya kepada pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) yang diketuai oleh Dr. Hajah Noorliza binti Mohd Noordin dan pasukan beliau yang telah memberikan sepenuh komitmen dalam mengambil langkah-langkah untuk memastikan Parlimen Malaysia dan kita semua sentiasa dalam keadaan terkawal dan selamat daripada penularan wabak COVID-19. Terima kasih sekali lagi. Saya turut ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan saya Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang yang sudi mempengerusikan sementara beberapa kali mesyuarat Dewan Rakyat sepanjang persidangan ini. Kesudian Yang Berhormat Pengerang berhubung perkara ini amat saya hargai. Tidak saya lupakan juga ucapan terima kasih kepada semua pegawai kerajaan, warga Parlimen Malaysia khususnya Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, wakil media massa serta semua pihak yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengendalian pengurusan majlis mesyuarat sepanjang tempoh Dewan kali ini bersidang. Ahli-ahli Yang Berhormat saya juga ingin mengucapkan Salam Maulidur Rasul yang akan disambut pada 19 Oktober 2021 minggu hadapan kepada semua Ahli Yang Berhormat dan warga Parlimen Malaysia yang beragama Islam. Saya juga ingin

Tuan Yang di-Pertua

menasihatkan semua Ahli Yang Berhormat untuk sentiasa terus mematuhi SOP yang dikeluarkan kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan wabak COVID- 19 yang masih belum ada kesudahannya walaupun telah nampak improvementnya dalam dua minggu ke tiga minggu ini. Tanam pisang rapat-rapat, Agar puyuh tidak dapat lari, Selesai mesyuarat pertama penggal keempat, Mesyuarat kedua kita bersua lagi. Insya-Allah. Akhir kalam, saya ingin mengucapkan kepada semua selamat pulang dan selamat sampai ke destinasi masing-masing. Semoga Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa sihat walafiat di samping keluarga tersayang. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan pada hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat petang.

[Dewan ditangguhkan pada pukul 4.18 petang]

Kamar KhasSpecial Chamber

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]

Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Isu Banjir Taman Muhibbah Jaya Fasa 2, Sungai Siput (U)Special Chamber

Tuan Kesavan a/l SubramaniamPKR · PHSungai Siput

Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, isu banjir merupakan isu besar di kawasan Parlimen Sungai Siput khususnya di taman-taman sekitar Pekan Sungai Siput. Antaranya, Taman Lintang Makmur dan Taman Muhibbah Jaya, Fasa 2 yang sering menimpa kedukaan akibat banjir kilat.

Keadaan bentuk muka bumi, bukit-bukit, sistem pengaliran air dan kekerapan hujan lebat sering menyebabkan berlakunya banjir kilat hingga mengakibatkan kerugian yang besar kepada tuan punya rumah mencecah puluhan ribu ringgit setiap kali berlakunya bencana banjir. Pada tahun ini sahaja, lebih tujuh kali berlaku banjir kilat secara mengejut. Ketika hujan lebat, di mana air masuk ke dalam rumah hampir tiga kaki yang mengakibatkan kerosakan perabot, peralatan elektronik, kenderaan motor, kereta dan menjejaskan kesihatan keluarga mereka.

Pada tatkala rakyat berdepan dengan pandemik COVID-19, perintah kawalan, hilang punca pendapatan, warga di Taman Muhibbah Jaya, Fasa 2 ini ditambah pula dengan beban kerugian dan ancaman banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kesemua penghuni di Taman Muhibbah Jaya, Fasa 2 ini sering meluahkan perasaan kebimbangan dan keselamatan keluarga. Mereka turut melahirkan rasa kecewa terhadap agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab seperti majlis perbandaran dan JPS serta wakil-wakil setempat.

Tuan Kesavan a/l SubramaniamPKR · PHSungai Siput

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, isu banjir di Sungai Siput pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat sejak tahun 2019. Jawapan kerajaan pada ketika itu, mengambil maklum isu ini dan akan mengambil langkah-langkah perlu bagi menyelesaikan masalah ini. Saya sebagai Ahli Parlimen amat prihatin dan rasa terpanggil membahaskan isu ini sekali lagi yang belum ada penyelesaian. Saya memohon Yang Berhormat Timbalan Menteri menyatakan status terkini perancangan yang sudah dan sedang dibuat bagi menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Mansor bin OthmanPKR · PHTimbalan Menteri Alam Sekitar dan Air · Nibong Tebal

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Sungai Siput di atas soalan ini.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Sungai Siput, isu banjir di Taman Lintang Makmur dan Taman Muhibbah Jaya Fasa 2, Sungai Siput

(Utara) berpunca daripada beberapa faktor iaitu keadaan bentuk muka bumi yang berada di kawasan yang rendah yang menyebabkan kawasan tersebut mudah ditenggelami semasa berlakunya banjir kilat. Tambahan pula, apabila terjadinya hujan yang lebat berlaku serentak di kawasan hulu serta kawasan setempat melebihi dua jam.

Selain itu, aras air Sungai Nyamuk yang tinggi tidak dapat menampung air larian seterusnya menyebabkan sistem perparitan dalam kawasan taman perumahan tersebut melimpah dan menyebabkan banjir kilat.

Menurut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133], tanggungjawab untuk membina dan menyenggara parit adalah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selain itu, keputusan Jemaah Menteri tahun 1996 telah menggariskan pembahagian tanggungjawab di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga JPS. Menurut keputusan Jemaah Menteri tersebut, semua sistem saliran dalaman iaitu sistem saliran buatan adalah di bawah tanggungjawab PBT manakala, sistem saliran asal semula jadi iaitu sungai dan anak sungai adalah di bawah JPS.

Walau bagaimanapun, KASA melalui JPS, telah mengambil inisiatif proaktif dalam membantu kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan kerja-kerja membina dan menaik taraf sistem saliran dalaman. Bagi penyelesaian jangka pendek yang melibatkan peruntukan kerajaan negeri ia melibatkan kerja pemasangan pam bergerak di Taman Muhibbah Jaya, Fasa 2 bagi mengepam air berlebihan dari longkang perumahan ke Sungai Sintang dan kerja penyelenggaraan Sungai Nyamuk untuk memastikan kelancaran air.

Dato’ Mansor bin OthmanPKR · PHTimbalan Menteri Alam Sekitar dan Air · Nibong Tebal

Manakala, bagi penyelesaian jangka panjang, Kementerian Alam Sekitar dan Air

(KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan Projek Saliran Mesra Alam dan Kerja-kerja Berkaitan di Daerah Kuala Kangsar dengan kos projek berjumlah RM 20.5 juta. Projek ini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada bulan Ogos 2023. Kawasan Taman Lintang Makmur dan Taman Muhibbah Jaya, Fasa 2 juga termasuk dalam pelaksanaan Projek Saliran Mesra Alam ini.

Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Status Tindakan Susulan Penyelesaian Isu Banjir di Kawasan Parlimen KulaiSpecial Chamber

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Kejadian banjir semakin kerap berlaku di kawasan Kulai sejak dua bulan ini. Sebanyak enam kali banjir yang serius telah berlaku dan membawa impak yang besar kepada penduduk di Kulai.

Antara kawasan dan butiran adalah seperti berikut; | Tarikh | Kawasan berlaku banjir | |-----------------|---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------| |29 September 2021|Kampung Melayu Bukit Batu, Kampung Sungai Siam, Murni Jaya | |18 September 2021|J104 Jalan Sengkang di depan kilang Lee Soon Seng, Kampung Baru Kelapa Sawit, Taman Palma Sawit, Taman Sawit Indah| |16 September 2021|Taman Palma Sawit, Taman Sawit Indah | |4 September 2021 |Taman Aman, Kampung Jaya Sepakat, Taman Perindustrian Senai, Jalan Persekutuan (Kulai Besar) | |2 September 2021 |Taman Sri Muhibah | |13 Ogos 2021 |Jalan Persekutuan (Batu 21), Taman Sri Kulai Baru 2, Taman Sri Muhibah, Taman Selatan |

Trend kekerapan berlakunya banjir amat membimbangkan penduduk Kulai.

Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda mereka malah merosakkan harta benda awam sehingga membahayakan keselamatan rakyat.

Antaranya, banjir yang berlaku di Kampung Melayu Bukit Batu pada 29 September 2021 yang mengalami keadaan yang paling serius. Sebanyak 22 buah keluarga yang

Puan Teo Nie ChingDAP · PHKulai

melibatkan 74 orang penghuni terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir Sementara di dewan Sekolah Menengah Bukit Batu.

Selain itu, banjir yang berlaku di Jalan Persekutuan (Batu 21) pada 13 Ogos 2021 membawa kerugian yang besar kepada peniaga-peniaga kedai dan juga penduduk di kawasan kediaman sekitar. Kolam Tadahan Kawalan Air Banjir Batu 21 berlaku ‘overflow’ dan air melimpah dari kolam ke Jalan Persekutuan.

Soalan saya kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air;

(i) apakah punca utama dan status tindakan susulan penyelesaian isu banjir di kawasan Parlimen Kulai;

(ii) berapakah peruntukan tahunan untuk kerja penyelenggaraan Kolam Kawalan Banjir Batu 21 sejak tahun 2017 hingga 2022; dan

(iii) berapakah peruntukan tahunan yang disalurkan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran Daerah Kulai dalam kerja penyelenggaraan sungai sejak tahun 2017 hingga 2022.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Mansor bin OthmanPKR · PHTimbalan Menteri Alam Sekitar dan Air · Nibong Tebal

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kulai. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil berat dan melahirkan rasa simpati akan masalah banjir yang berlaku di beberapa kawasan penempatan dalam Parlimen Kulai.

Kejadian banjir yang telah berlaku pada bulan Ogos dan September 2021 di daerah Kulai adalah disebabkan;

(i) hujan lebat dalam tempoh satu hingga tiga jam yang mana rekod tertinggi hujan maksimum direkodkan oleh Stesen Hujan Taman Aman, Kulai pada 4 September 2021 dengan bacaan hujan 125mm bagi tempoh dua jam;

(ii) ketidakcukupan sistem saliran sedia ada yang mana saliran di Jalan Persekutuan, kawasan perumahan, kolam takungan dan kampung sudah tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang tinggi dalam tempoh satu masa;

(iii) limpahan air dari sungai utama seperti Sungai Ulu Pontian Besar dan Sungai Sayong akibat daripada aliran air yang tidak lancar menyebabkan kawasan rendah berhampiran sungai utama dibanjiri; dan

Dato’ Mansor bin OthmanPKR · PHTimbalan Menteri Alam Sekitar dan Air · Nibong Tebal

(iv) air laut pasang tinggi di muara Sungai Pontian Besar menyebabkan aliran air tidak dapat keluar terus ke laut dan memburukkan lagi keadaan banjir kilat di daerah ini.

Penyelesaian jangka pendek yang melibatkan kerja penyelenggaraan parit dan sungai adalah seperti berikut; Merujuk kepada kejadian banjir di Taman Aman, Kampung Jaya Sepakat, Taman Perindustrian Senai dan di Jalan Persekutuan (Kulai Besar). Pada 4 September 2021, dimaklumkan bahawa lawatan JPS bersama pihak PBT ke lokasi banjir telah diadakan pada 5 September 2021 dan sepakat untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut bidang kuasa masing-masing iaitu PBT akan melaksanakan kerja penyelenggaraan di dalam kawasan taman perumahan, manakala JPS akan melaksanakan kerja penyelenggaraan daripada outlet keluar taman perumahan ke Sungai Skudai.

Sehubungan itu, JPS telah melaksanakan kerja-kerja menyelenggarakan sistem perparitan di Kawasan Taman Beringin serta kerja-kerja berkaitan di Mukim Senai, Kulai Johor dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri dengan kos berjumlah RM 19,950.00 dan telah siap pada 5 Oktober 2021.

Merujuk kepada kejadian banjir di Taman Palma Sawit, Taman Sawit Indah pada 16 September 2021. Kejadian banjir di J104 Jalan Sengkang di depan kilang Lee Soon Seng dan di Kampung Baru Kelapa Sawit, Taman Palma Sawit, Taman Sawit Indah pada 18 September 2021. Dimaklumkan bahawa lawatan JPS bersama pihak PBT ke lokasi banjir telah diadakan pada 19 September 2021 dan sepakat untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut bidang kuasa masing-masing iaitu PBT akan melaksanakan kerja penyelenggaraan di dalam kawasan taman perumahan manakala JPS akan melaksanakan kerja penyelenggaraan daripada outlet keluar taman perumahan ke Sungai Pontian Besar.

Sehubungan itu, JPS akan melaksanakan kerja-kerja menggali dan membersihkan cabang anak sungai Pontian Besar serta lain-lain kerja di Taman Palma, Kelapa Sawit, Kulai, Johor dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri dengan kos berjumlah RM19,900.00 dan dijangka siap pada 1 November 2021.

Manakala, merujuk kepada kejadian banjir di Kampung Melayu Bukit Batu dan Kampung Sungai Siam, Murni Jaya pada 30 September 2021. Dimaklumkan bahawa kerja pembaikan dan penyelenggaraan sistem saliran taman perumahan yang dinyatakan adalah di bawah bidang kuasa PBT, manakala bagi saliran perumahan kampung pula adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kulai.

Untuk makluman Yang Berhormat Kulai, peruntukan bagi kerja penyelenggaraan kolam kawalan banjir di Batu 21 sejak tahun 2017 sehingga tahun 2021 adalah

Dato’ Mansor bin OthmanPKR · PHTimbalan Menteri Alam Sekitar dan Air · Nibong Tebal

sebanyak RM1.8 juta. Peruntukan ini melibatkan peruntukan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga Parlimen Kulai. Kementerian melalui JPS juga telah memperuntukkan sebanyak RM3.9 juta untuk melaksanakan 50 projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan Parlimen Kulai dari tahun 2017 sehingga kini seperti berikut; | Bil. | Tahun |Perbelanjaan (RM)|Jumlah Projek| |------|----------------|----------------:|------------:| | 1| 2017| 1154271| 8| | 2| 2018| 804440| 12| | 3| 2019| 485630| 5| | 4| 2020| 1248578| 19| | 5|2021 (PEMERKASA)| 300000| 6| |Jumlah| | 3992919| 50|

Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon)

Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas ini ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang tidak ditetapkan. Terima kasih, Ahli-ahli Yang Berhormat.

[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 2.49 petang]