Dewan Rakyat · 9 November 2021
15th Parliament, session 4, meeting 2 · 463 turns · 49,259 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Jawapan-Jawapan Menteri Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim [Port Dickson] minta Menteri Kesihatan menyatakan berikutan kegagalan kerajaan untuk memastikan perjawatan tetap kepada doktor kontrak yang terdapat di negara ini, apakah langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak nanti dan halangan kepada kerajaan dalam mengambil mereka berjawatan tetap serta beberapa implikasi tambahan kewangan kementerian jika kerajaan menyetujui pengambilan mereka.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Keluarga Malaysia, sihat sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021, kerajaan telah membuat keputusan supaya pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib dua tahun dilanjutkan tempoh kontrak selama dua tahun lagi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan membolehkan pegawai membuat persediaan bagi menyambung pengajian kepakaran. Oleh yang demikian, menerusi pembentangan belanjawan tempoh hari, kerajaan telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak kepada 10,583 orang pegawai perubatan pergigian dan farmasi dengan peruntukan sebanyak RM336.35 juta. Selain itu kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta bagi dimanfaatkan 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian bagi penajaan program kepakaran. Sepertimana yang telah dimaklumkan sebelum ini, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mendapatkan penyelesaian jangka masa panjang terhadap isu lantikan kontrak ini. Jawatankuasa ini sedang meneliti keperluan bagi pindaan kepada beberapa akta yang berkaitan, termasuklah Akta Perubatan dan Akta Pergigian. Selain itu, KKM bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Awam juga masih meneruskan perbincangan bagi membuat pindaan kepada Akta Pencen bagi melihat kesesuaian penawaran lantikan secara tetap dengan lebih lestari kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi menerusi skim KWSP. Sekian, terima kasih.
Terima kasih, soalan tambahan pertama Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri belum menjawab soalan implikasi kewangan, ada tidak? Saya sebut implikasi kewangan. The last part of the question.
Daripada 10,583 pegawai yang telah tamat tempoh khidmat wajib, 4,186 pegawai telah pun dinilai dan boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk lantikan tetap. Jumlah yang diperlukan untuk tahun hadapan permohonan 4,186 perjawatan pelantikan tetap yang meliputi 3,586
pegawai perubatan, 300 orang pegawai pergigian, 300 orang pegawai farmasi adalah RM377,485,089. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas penjelasan itu dan saya juga mengalu-alukan akan keputusan Jemaah Menteri dan kesungguhan untuk melaksanakan. Cuma Tuan Yang di-Pertua, saya hendak jelaskan di sini bahawa seluruh pengisytiharan darurat dan belanjawan adalah terkait COVID-19. Belanjawan yang kita luluskan termasuk belanjawan khas dan tambahan COVID-19 itu mencecah puluhan bilion. Kelompok-kelompok ini adalah kelompok barisan hadapan dan keluhan mereka itu telah berlarutan. Oleh sebab itu, kita mendesak kerajaan supaya memberikan keadilan kepada mereka, melantik mereka secara tetap dan implikasi kewangan itu saya tidak fikir menjadi satu alasan munasabah kerana ketirisan dan kebocoran termasuk perbelanjaan- perbelanjaan ini kita rasa tidak berfaedah masih berterusan. Jadi, saya ingin mendapat pengesahan daripada Yang Berhormat Menteri, sementara ada sedikit kemajuan dan pelantikan untuk tahun hadapan iaitu pelantikan tetap, saya mahu jaminan Yang Berhormat Menteri bahawa jawatankuasa ini akan mencadangkan kaedah pelaksanaan melantik 10,500 secara tetap.
Terima kasih Yang Berhormat.
Pendirian saya dengan Yang Berhormat Ketua Pembangkang tidak jauh beza Tuan Yang di-Pertua. Sekarang ini kita melihat daripada 10,000 berapa ramai yang diperlukan daripada segi unjuran keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia dan saya rasa pendirian saya juga menghampiri Ketua Pembangkang yang apa yang diperlukan perlu dilantik secara tetap.
Soalan tambahan kedua?
Tangga Batu.
Beaufort.
Ya, Yang Berhormat Beaufort.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya mendengar dengan teliti tadi jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri. Saya ingin tahu kerana kita sekarang ada 10 ribu lebih para doktor yang dilantik secara lantikan kontrak ini. Apakah implikasi kewangannya kalau semua ini, jumlah ini kita lantik di bawah Kementerian Kesihatan? Saya ingin tahu, berapakah keperluan sebenarnya Kementerian Kesihatan, in terms of doctors dan semua yang disebut tadi termasuklah dentists dan sebagainya ini?
Ya, terima kasih Yang Berhormat Beaufort. Unjuran itu yang kita tengah sediakan sebab sekarang ini Jabatan Perkhidmatan Awam minta unjuran daripada Kementerian Kesihatan, berapa ramai doktor yang diperlukan untuk tahun-tahun mendatang. Jadi, sebab itu kita dalam proses menyediakan unjuran kita supaya kita dapat kemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga kepada Kementerian Kewangan keperluan berdasarkan unjuran dan keperluan untuk doktor ini dilantik secara tetap. Ini maksud saya tadi. Kita sejak akhir 2016 Tuan Yang di-Pertua, sejak akhir 2016 setiap doktor, pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak. Sejak akhir 2016, setiap doktor, pegawai-pegawai perubatan lantikan siswazah dilantik secara kontrak. Sebanyak 24 ribu lebih dilantik secara kontrak, yang ditawarkan tetap adalah hanya seribu lebih sahaja. Jadi, ini adalah masalah legasi lama yang perlu kita atasi segera. Saya tidak pasti kalau kita dapat serap semua yang ada di bawah kontrak tetapi kita mula dengan unjuran keperluan dulu dan saya pasti unjuran keperluan itu kita akan usahakan supaya jumlah itu dapat kita serapkan dulu untuk dimasukkan dalam perkhidmatan tetap. Terima kasih.
2. Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan persediaan kementerian dalam mengenal pasti jalan dan cerun yang berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh dalam masa terdekat ini, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Dungun. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, negeri-negeri di Pantai Timur akan menghadapi monsun timur laut yang dirujuk sebagai MTL sahajalah yang mana pada kebiasaan akan bermula pada bulan Oktober sehingga Mac tahun berikutnya dengan beberapa siri kejadian hujan lebat dalam tempoh tersebut. Kementerian Kerja Raya sentiasa memastikan kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi bencana MTL setiap tahun. Semua JKR negeri dan daerah telah diarahkan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga dan membuat persiapan yang rapi daripada aspek tenaga kerja, jentera dan logistik. Semua jentera dan keperluan logistik telah diselenggara bagi menghadapi musim tengkujuh yang akan datang. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya telah menghasilkan Peta Bahaya dan Risiko Cerun untuk cerun-cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di Malaysia pada tahun 2020. KKR juga telah menghadiri beberapa siri libat urus bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi lain dalam persediaan menghadapi MTL 2021/2022. Untuk makluman Yang Berhormat juga, berdasarkan lima buah negeri yang dijangka mungkin terjejas akibat MTL oleh NADMA ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan. Sebanyak 1,474 bilangan cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana sehingga sangat tinggi telah dikenal pasti melalui peta bahaya dan risiko cerun. Cerun-cerun yang berisiko ini terletak di jalan persekutuan kritikal di lima buah negeri tersebut seperti jalan persekutuan FT1, FT3, FT4, FT5, FT8, FT86 dan FT185. Untuk makluman Yang Berhormat juga, jalan kritikal dikenal pasti berdasarkan kriteria berikut: (i) jalan alternatif melebihi 50 kilometer; (ii) jalan utama; (iii) kawasan tanah tinggi; (iv) bilangan cerun berkategori very high hazard dan high hazard yang banyak; dan (v) laluan yang sering berlaku cerun runtuh. Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kementerian Kerja Raya bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR telah memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh di lokasi-lokasi berisiko melalui penggunaan Sistem Telemetri yang akan memberi amaran awal apabila rainfall index pada tolok hujan yang telah dipasang, melebihi tahap amaran. Terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh Malaysia di mana 36 stesen terletak di Semenanjung Malaysia. Tolok hujan ini dipasang di jalan persekutuan yang berpotensi berlaku cerun runtuh seperti FT59, FT185, FT4, FT55, FT102 dan beberapa laluan kritikal lagi. CKC juga akan memberikan amaran awal kepada JKR daerah berdasarkan data hujan yang diperolehi daripada Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh dan data pergerakan cerun yang dipasang pada cerun-cerun yang berisiko. JKR daerah akan melakukan rondaan selepas berlakunya hujan lebat ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya tanah runtuh. JKR akan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) apabila berlaku musim tengkujuh bagi memantau dan menyebarkan info kepada pengguna jalan raya. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, KKR melalui Program Public Awareness dan Education telah membuat edaran maklumat kesedaran terhadap tanda- tanda awal tanah runtuh yang telah diterbitkan dalam akhbar-akhbar utama nasional. Di
samping itu, kita juga memantau cerun di kawasan lebuh raya, khususnya di kawasan Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 dan juga Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2. Lebuh Raya KLK adalah lebuh raya yang paling kritikal yang terletak di kawasan berbukit dan dikelilingi cerun-cerun yang berisiko tinggi. Pihak LLM bersama syarikat konsesi lebuh raya telah mengambil beberapa langkah persediaan di sepanjang lebuh raya bagi memastikan cerun-cerun di lebuh raya berada di tahap yang terbaik. Terima kasih.
Terima kasih. Soal yang penting juga ialah selepas berlakunya banjir. Selalunya ia akan mengambil masa yang agak lama untuk tempoh Jabatan Kerja Raya bagi menilai kos kewangan dan seterusnya melaksanakan setiap projek pembaikan jalan yang rosak dan juga cerun yang runtuh di tempat yang terlibat dengan MTL tersebut. Soalan saya, apakah perancangan kementerian untuk mengurangkan kerenah birokrasi (red tape) dengan izin bagi mempercepatkan prosedur penilaian dan pembaikan ini? Terima kasih.
Sepertimana Yang Berhormat bangkitkan tadi, sebab itu langkah yang diambil oleh kerajaan ialah dengan melantik kontraktor konsesi ataupun syarikat konsesi untuk membuat penyelenggaraan dan juga pembaikan. Ini termasuklah jalan raya di mana kita ada tiga buah syarikat konsesi di Semenanjung dan juga kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun ataupun slope maintenance iaitu ada satu syarikat. Dengan adanya syarikat konsesi ini, maka mereka boleh mengambil tindakan awal disebabkan prosedur untuk membuat peruntukan bagi apa-apa kerja termasuk kerja kecemasan, ia ada prosedur tertentu di pihak kerajaan. Akan tetapi melalui syarikat konsesi, mereka boleh mendahului peruntukan mereka dulu dan boleh menuntut kemudian, asalkan dapat dikeluarkan arahan kerja untuk melaksanakan kerja-kerja kritikal yang perlu dilaksanakan dengan segera disebabkan berlakunya bencana ataupun kerosakan dan keruntuhan. Itu yang kita laksanakan pada masa ini untuk menangani masalah kerenah birokrasi tersebut. Terima kasih.
Terima kasih. Saya sebenarnya ingin merujuk kepada bajet sebelum ini dalam Butiran 050800 dan 051000 berkenaan pembaikan dan penyelenggaraan cerun yang telah dikosongkan, maksudnya tiada peruntukan. Saya semak Laporan Audit 2018, Siri 3 menemukan bahawa pemeriksaan cerun sudah tujuh tahun tidak dilakukan akibat kekurangan peruntukan. Kemudian, kerja-kerja pembaikan cerun hanya dijalankan terhadap 497 buah cerun daripada 988 cerun yang disasarkan. Laporan Semakan Audit juga mendapati sebuah syarikat 301524V dilantik secara rundingan terus bagi tempoh tiga tahun, bermula 1 November 2017 sehingga Oktober 2020. Skop kerja data untuk menghasilkan PBRC di Jalan Persekutuan Semenanjung dan kos ini berjumlah RM900 juta.
Namun pihak Audit mendapati, kontrak ini tidak berkeupayaan untuk melaksanakan kerja-kerja pencegahan cerun sepertimana yang dirancang oleh CKC. Jadi saya mohon respons Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.
Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Merbok untuk soalan. Sebenarnya lari sikit daripada persoalan asal, namun demikian bagi apa yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Merbok tadi, kita boleh sebenarnya untuk respons secara bertulis segala perincian yang dimaksudkan itu tadi. Saya akan memberi respons secara bertulis sebab ia perkara spesifik yang berbangkit di luar tajuk soalan ini, maka saya akan memberi secara bertulis. Terima kasih.
Boleh lagi satu?
Terima kasih.
Yang Berhormat Sri Gading. Ringkas ya.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Yang Berhormat Menteri, saya berpandangan Kementerian- KKR sukar hendak pantau jalan-jalan dan cerun-cerun yang berpotensi runtuh bagi seluruh negara. Tadi disebutkan negeri Johor ya, kerana ini disebabkan oleh kekurangan staf dan kepakaran. Oleh sebab itu tadi disebutkan daripada Yang Berhormat Merbok menyatakan bahawa penyelenggaraan tidak dibuat dan sebagainya. Walaupun hendak dibuat kerana saya lihat bahawa pakar mesti turun dan lihat dengan mata sendiri kerana cerun-cerun yang mempunyai potensi runtuh masa hujan, yang kritikal ialah soal high moisture content, low plasticity, jenis tanah, hendak tengok sendiri. Jadi, macam mana pihak kementerian hendak mengatasi zero keruntuhan cerun ini?
Itu pandangan begitu baik sekali Yang Berhormat Sri Gading. Memang menjadi cabaran. Cabarannya pertama ialah memang kita ada kepakaran di peringkat JKR, malahan di pihak swasta pun memang ada. Oleh sebab itu sebahagian kajian itu dilaksanakan oleh pihak swasta. Namun tindakan, ada beberapa tindakan kita buat. Pertama sekali, untuk mengenal pasti kawasan-kawasan berisiko tinggi ataupun berisiko sederhana. Semua sudah dikenal pasti melalui kajian yang dibuat dalam tahun 2020. Jadi langkah pencegahan. Ada beberapa langkah yang boleh kita ambil. Akan tetapi ia bergantung dengan peruntukan dan sebagaimana kita sedia maklum, dalam keadaan peruntukan yang terhad maka kita akan utamakan tindakan pencegahan itu mengikut keutamaan. Yang berisiko tinggi, kemudian sedikit sekali, kita akan beralih pada yang berisiko rendah. Cabaran juga misal kata malahan di Cameron Highlands, tanah masih bergerak, ada aliran air di bawah tanah dan sebagainya. Ia memerlukan belanja yang begitu besar. Jadi, apa yang kita ambil tindakan ialah langkah sementara, sederhana dan juga jangka panjang. Bergantung dengan peruntukan yang kita terima. Begitu juga untuk makluman kita di Sabah misalnya, Kinabalu masih bergerak tanahnya. Jadi, adakah tindakan yang boleh kita ambil kalau pergerakan itu masih berlaku. Jadi kita tidak boleh mengambil tindakan secara kekal disebabkan kalau ambil pun pergerakan itu akan tetap berlaku. Jadi ini yang cabaran-cabaran yang kita kena laksanakan secara total, dengan izin. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Dato’ Sri Hasan bin Arifin. Silakan.
3. Dato’ Sri Hasan bin Arifin [Rompin] minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan, berapa eksport tenaga hidrogen ke luar negara bagi tahun 2020 sehingga Jun 2021. Apa langkah yang diambil oleh kementerian seperti insentif atau galakan bagi memperkukuh, mengembang dan mengkomersialkan industri ini di Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Rompin atas soalan yang dikemukakan. Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas, kerajaan kita telah menyatakan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050. Selaras dengan hasrat tersebut, antara sektor tenaga alternatif yang akan diberi tumpuan ialah ekonomi hidrogen. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sumber tenaga hidrogen terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu: (i) hidrogen kelabu; (ii) hidrogen biru; dan (iii) hidrogen hijau.
Berbalik kepada soalan yang dikemukakan iaitu nilai eksport tenaga hidrogen ke luar negara, pada masa ini masih kecil jumlahnya. Walau bagaimanapun, sumber tenaga boleh baharu ini mempunyai prospek positif daripada aspek pertumbuhan ekonomi jika pelaksanaan inisiatif hijau dapat diperluas dengan cepat. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, eksport hidrogen hanya menyumbang sekitar 1.5 peratus sahaja berbanding eksport lain-lain gas dalam Malaysia yang dianggar sekitar RM1.2 bilion. Untuk makluman, China merupakan negara yang merekodkan nilai eksport hidrogen tertinggi iaitu sekitar RM948 juta, diikuti dengan Belanda, Poland, Jerman dan Singapura. Di Malaysia, Petronas dan Sarawak Energy Berhad telah menerajui pengeksportan sumber seperti maklumat berikut iaitu inisiatif pengeksportan hidrogen daripada Kanada ke Jepun iaitu milik Petronas di Kanada mengeksport hidrogen ke Jepun dalam bentuk ammonia. Kedua, melaksanakan kajian teknikal komersial bersama dalam rantaian bekalan hidrogen Malaysia ke Jepun termasuk pengeluaran dan pengangkutan dalam bentuk 'methylcyclohexane' iaitu hidrogen ditukar dari bentuk gas asal kepada cecair bagi membolehkan penghantaran dilakukan dengan jumlah yang lebih besar. Untuk soalan seterusnya iaitu penjelasan mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk memperkukuh industri ini di Malaysia. Langkah pertama, mewujudkan satu Dasar Tenaga Nasional ataupun Dasar Tenaga Negara yang sedang digubal pada masa ini melibatkan Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KeTSA), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KTSA). Dasar ini akan menjadi panduan dalam menangani pelbagai isu merentas segala sektor yang menggunakan tenaga serta memastikan pembangunan sektor ini wajar dan sejajar dengan trend peralihan tenaga global. Kedua, mengambil peluang terhadap potensi perkembangan ekonomi, teknologi dan kelestarian sumber tenaga mesra alam, MOSTI melalui Pusat Nanoteknologi Kebangsaan Malaysia telah melantik NanoMalaysia Berhad sebagai rakan strategik bagi merangka pelan tindakan dan hala tuju teknologi dan ekonomi hidrogen. Penyediaan pelan tindakan ini juga dijalankan secara kolaborasi dengan Akademi Sains Malaysia, NanoVerify Sdn. Bhd. dan Malaysian Green Technology and Climate Change Center. Pelan ini akan menjadi garis panduan bagi membangunkan teknologi dan ekonomi hidrogen hingga tahun 2050. Langkah ketiga ialah NanoMalaysia Berhad juga sedang melaksanakan Hydrogen EcoNanoMy Program yang memberi fokus kepada pembangunan dan pengkomersialan teknologi hidrogen. Langkah keempat ialah kerajaan melalui institusi pengajian tinggi telah meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan R&D berkenaan tenaga hidrogen dan fuel cell sejak sepuluh tahun yang lepas yang melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, UiTM dan Universiti Tenaga Nasional. Kelima, Malaysia sedang meningkatkan kesedaran awam dan mengukuh pembudayaan tenaga hidrogen melalui program inisiatif dan galakan cukai demi meningkatkan kemampuan dan taraf hidup yang lebih baik. Sebagai kesimpulan Tuan Yang di-Pertua, memandangkan ekonomi hidrogen masih dalam peringkat fasa permohonan awal, strategi yang dilaksanakan perlu sebagai intervensi bagi penggunaan penggantian sumber tenaga sumber hidrogen ini. Diharapkan sasaran kita untuk menjadi salah satu- pemain utama industri hidrogen, sama ada di pasaran serantau mahupun antarabangsa dapat dicapai.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri telah menjelaskan dengan panjang lebar di atas- sebuah industri yang baharu di negara kita ini. Apakah langkah seterusnya intervensi kerajaan Malaysia untuk memastikan Malaysia ini
tidak ketinggalan dalam usaha ini? Apa garis masa depan yang sesuai dalam proses peralihan ini umpamanya daripada segi bentuk, insentif, subsidi ataupun mana-mana agensi kerajaan yang boleh seperti UKAS dan lain-lain agensi Jabatan Perdana Menteri boleh terlibat dalam usaha ini?
Terima kasih, silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat. Pada ucapan Belanjawan 2022, beberapa insentif dan galakan telah pun dibentangkan. Antaranya ialah insentif membantu perusahaan mikro kecil dan sederhana ataupun kemudahan peralihan kepada rendah karbon disediakan dengan nilai dana sebanyak RM1 bilion telah diwujudkan sebagai padanan oleh institusi kewangan dalam mengambil bahagian supaya penerimaan ataupun adoption teknologi baharu ini dapat dilaksanakan.
Kedua, Bursa Malaysia akan melancarkan dipanggil pasaran karbon sukarela ataupun voluntary carbon market sebagai platform sukarela untuk perdagangan kredit karbon antara pemilik aset hijau dan entiti lain. Perdagangan kredit karbon ini merupakan salah satu inisiatif dalam mendorong pihak industri untuk mengguna pakai teknologi berasaskan hidrogen dalam rantaian proses mereka. Untuk way forward, kita telah pun menggerakkan hala tuju melalui pelan yang sedang dibangunkan iaitu daripada segi teknologi memastikan negara mempunyai keupayaan teknologi yang mencukupi, upskilling kita meningkatkan nilai pasaran dan pelaburan swasta serta mengembangkan pasaran hijau industri hidrogen negara dan yang ketiga kita mengadaptasi rangka kerja dan pelan tindakan dengan melibatkan rujuk silang Yang Berhormat dan pelaksanaan efisien pelbagai polisi, pelan tindakan blueprint dan hala tuju. Terima kasih.
Terima kasih. Ada, silakan.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya tanya, saya minta panduan sedikit. Jawapan Yang Berhormat Menteri tadi banyak berkisar tentang tenaga bahkan menyentuh tentang pembikinan dasar tenaga dan sebagainya. Ini dalam portfolio Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ataupun Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Kalau boleh, saya hendak tuju soalan menyentuh tentang tenaga juga. Oleh sebab jawapan tadi banyak berkisar hidrogen adalah sumber tenaga baharu, bebas karbon.
Tanya dahululah Yang Berhormat.
Boleh ya?
Kalau Yang Berhormat Menteri boleh jawab, maka beliau akan cuba jawab. Tentang tenaga.
Boleh, baik. Terima kasih. Yang Berhormat Menteri, daripada jawapan Yang Berhormat Menteri tadi ternyata bahawa jumlah pengeluaran hidrogen dan potensi eksport itu masih lagi kecil dan di peringkat baharu inisiatif Petronas dan Sarawak Energy. Tentu sahaja soalan Yang Berhormat Rompin ini adalah soalan tentang potensi masa depan, saya faham. Cuma hidrogen ini kita maklum bahawa ia tidaklah satu yang diperolehi secara bebas di atmosfera. Ia mesti dihasilkan melalui teknologi. Saya ingin tahu daripada jawapan Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi nanti, penghasilan hidrogen di negara kita ini berasaskan kepada teknologi apa. Apakah teknologi membelah air dan udara sebab hidrogen adalah H2O ataupun teknologi yang berasaskan kepada penghasilan hidrogen daripada fosil ataupun gas asli dan arang batu? Yang mana sebenarnya menjadi penyumbang kepada pengeluaran hidrogen yang terbesar di negara kita di antara dua teknologi itu? Pertama. Kedua, Yang Berhormat Menteri tadi sebut bahawa kita menuju ke arah negara bebas kebergantungan kepada tenaga berasaskan karbon. Dasar Tenaga Negara sedang dalam pembikinan. Saya ingin juga mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, sebenarnya kita sudah berkira-kira untuk berdikari dalam tenaga ini selain
daripada penghasilan tenaga seperti gas asli, elektrik, etanol dan sebagainya dan sekarang potensi hidrogen. Sebelum kita bercakap tentang eksport, sasaran kita sebenarnya bila untuk kita ini berdikari dalam penggunaan tenaga? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Silakan.
Yang Berhormat, terima kasih. Memang MOSTI merupakan kementerian yang menyediakan teknologi. Jadi, berkaitan dengan dasar serta komitmen kita untuk carbon footprint ataupun negara bebas atau sifar karbon 2025. Memang KASA dan KeTSA. Walau bagaimanapun, soalan Yang Berhormat berkisar kepada at the moment tenaga hidrogen yang dikeluarkan oleh Petronas masih lagi di peringkat hidrogen kelabu. Hidrogen kelabu bermakna menggunakan gas yang sedia ada dan juga fuel ataupun coal— saya minta maaf. Coal ya. Jadi ini merupakan hidrogen kelabu dan ia masih lagi di peringkat proses yang murah berbanding kalau kita pergi kepada hidrogen biru ataupun akhir sekali kepada hidrogen hijau, green hydrogen. Green hydrogen ini melibatkan apa Yang Berhormat sebut tadi iaitu proses yang berkaitan dengan elektrolasi sahaja dan juga berkaitan dengan tenaga yang diperbaharui melalui solar yang menjadikan penggunaan tenaga untuk menghasilkan hidrogen. Berbanding dengan sekarang pergerakan daripada hidrogen kelabu ke hidrogen biru sedang migrasi oleh Petronas dan Sarawak Energy. Ini dikatakan sebagai near term yang boleh kita laksanakan. Contoh, saya boleh maklumkan di sini bahawa sesuatu nilai harga untuk eksport tenaga hidrogen ini ialah contoh kelabu USD1.5 per kilogram, untuk hidrogen biru USD3.83 per kilogram dan hidrogen hijau USD6 per kilogram. Bermakna hidrogen hijau masih lagi mahal. Oleh sebab itu buat masa ini hidrogen yang dikeluarkan di Sarawak dan juga Petronas merupakan hidrogen kelabu dan kita akan migrate ke hidrogen biru dan juga hijau. Itu teknologi yang dibekalkan oleh MOSTI. Sasaran kita seperti mana yang kita laksanakan, pada hari ini satu interim report hydrogen economy and technology road map sedang dibangunkan. [Sambil menunjukkan senaskah dokumen] Kita menjangkakan dengan adanya pelan ini, maka dijangka kita dapat mempercepatkan proses-proses kelahiran teknologi hijau hidrogen. Terima kasih.
Tambahan daripada hidrogen Sarawak sedikit.
Maaf. Masa sudah tamat. Maaf. [Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Dato Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim [Batang Lupar] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan langkah yang diambil serta pemantauan bagi memastikan murid yang tidak dapat mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian khususnya murid Tahap Satu untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dengan lebih baik.
Terima kasih Yang Berhormat Batang Lupar. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha untuk memastikan pendidikan murid terutamanya dalam aspek literasi dan numerasi diberi keutamaan. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) merupakan aspek yang diberi penekanan dalam pendidikan murid di Tahap Satu iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3. KPM telah melaksanakan program pemulihan khas untuk murid sekolah rendah yang menghadapi masalah menguasai kemahiran asas 3M. Guru pemulihan dengan
kerjasama guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik memberi bimbingan yang bersesuaian kepada murid sehingga mereka dapat menguasai kemahiran asas 3M. KPM juga memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN) untuk memastikan murid sekolah rendah menguasai sekurang-kurangnya tahap penguasaan tiga dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Pelaksanaan PLaN adalah sebagai program sokongan pengajaran dan pembelajaran PdP yang menyeluruh untuk membantu memantapkan kemahiran 3M. Bermula September 2021, KPM telah melaksanakan Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum ataupun KPM PerkasaKU. Salah satu aspek yang diberi penekanan dalam program ini ialah pemugaran literasi dan numerasi. Penekanan juga diberikan kepada penglibatan ibu bapa dalam menyokong pelaksanaan PdP. Program ini dirangka bagi memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi melalui PdP secara bersemuka atau PdPR yang bersesuaian dengan tahap keupayaan murid untuk mengikuti pembelajaran seterusnya. Pada masa ini, murid Tahap Satu yang telah dikenal pasti dibekalkan dengan Modul Asas Literasi dan Modul Asas Numerasi bagi mempertingkatkan penguasaan 3M mereka. Berkaitan pemantauan, pentaksiran bilik darjah (PBD) dilaksanakan bagi mengumpul data perkembangan pembelajaran murid yang direkodkan dari semasa ke semasa. KPM yakin, langkah strategik yang dilaksanakan ini dapat memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama Yang Berhormat Batang Lupar.
Tuan Yang di- Pertua. Soalan tambahan, bagaimana tahap keciciran murid-murid dalam penguasaan 3M dalam tempoh pembelajaran secara dalam talian semasa pandemik COVID-19 jika dibandingkan dengan pembelajaran secara fizikal, secara normal sebelum ini? Adakah sebarang kajian dilakukan? Apakah dapatan daripada kajian tersebut? Bagaimana kementerian merancang supaya murid-murid ini dapat menguasai ilmu yang mereka keciciran hampir dua tahun? Ini kerana asas terhadap 3M masih belum kukuh bagi mereka. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Batang Lupar. Banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh KPM ke arah tersebut untuk mengatasi masalah keciciran murid. Di antara langkah-langkah yang telah diambil termasuklah menyediakan panduan pelaksanaan program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum ataupun KPM PerkasaKu sepertimana yang saya sebutkan tadi. Mengenai soalan spesifik mengenai peratusan dan sebagainya, akan saya salurkan kepada Yang Berhormat Batang Lupar kemudian. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Simpang Renggam.
Okey, terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya kira apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Batang Lupar tadi begitu signifikan. Ianya bukan hanya berkisar kepada apa yang dilakukan oleh KPM sebagai business as usual tetapi kita mahukan satu tindakan pemulihan yang lebih komprehensif yang tidak bersikap in silo itu yang mungkin dimaksudkan oleh Yang Berhormat Batang Lupar dan sehingga kini, kita tidak nampak KPM menyediakan satu pelan alternatif yang signifikan dan yang meyakinkan kepada rakyat. Saya telah berikan kepada Yang Berhormat Menteri Kanan, satu pelan cadangan daripada saya dan kita terbuka untuk berbincang. Akan tetapi soalan saya, ialah berkaitan dengan bilangan guru yang memohon bersara pilihan awal. Kalau boleh, kita minta KPM berikan. Kalau tidak ada datanya sekarang, boleh berikan bertulis berapa ramai kah guru yang minta bersara pilihan awal semenjak Januari 2021 dan apakah sebabnya?
Ini kerana kita tahu di media sosial, di media utama, ramai guru telah memohon untuk bersara awal kerana burnout dan apakah langkah yang dilakukan oleh KPM untuk memastikan guru-guru kita tidak hilang harapan dan tidak kelesuan lagi? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Simpang Renggam yang begitu prihatin tentang pendidikan di tanah air. Banyak langkah sebenarnya yang saya sebutkan tadi telah kita ambil, menjurus ke arah tersebut untuk membantu warga pendidik sama ada guru mahupun bukan guru dan termasuklah juga murid-murid kita untuk meningkatkan lagi pembelajaran mereka. Pada waktu yang sama, membantu mereka dalam menghadapi apa-apa masalah yang dihadapi. Mengenai statistik yang diminta akan saya juga bekalkan kemudian. Banyak sebenarnya langkah yang telah diambil di antaranya termasuklah apa yang saya sebutkan tadi iaitu KPM PerkasaKu. Satu panduan yang begitu komprehensif untuk membantu dari semua segi yang untuk mengatasi masalah pembelajaran murid kita. Terima kasih.
[Soalan No. 2 – YB. Tuan Hassan bin Abdul Karim (Pasir Gudang) tidak hadir]
Terima kasih. Saya menjemput Yang Berhormat Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakub. Silakan.
Soalan Machang nombor tiga, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
3. Datuk Haji Ahmad Jazlan bin Yaakub [Machang] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan berapa peratus kadar kebolehpasaran graduan yang tamat pengajian pada tahun 2019 sehingga terkini tahun 2021, adakah berlaku sebarang penurunan yang ketara.
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat dari Machang di atas soalan yang telah diberikan. Tuan Yang di-Pertua, dalam konteks kebolehpasaran graduan ini, kadar kebolehpasaran graduan merujuk kepada graduan yang sedang bekerja melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran serta menunggu penempatan pekerjaan. Berdasarkan kajian pengesanan graduan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi semasa musim konvokesyen pada dua tahun terkini, kadar kebolehpasaran graduan menunjukkan penurunan sebanyak 1.8 peratus iaitu dari 86.2 peratus pada tahun 2019 kepada 84.4 peratus pada tahun 2020. Bagi kadar kebolehpasaran graduan pada tahun 2021 pula, keputusan hanya akan diperoleh pada bulan Februari tahun 2022. Antara langkah yang dilaksanakan oleh kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran adalah: (i) melaksanakan program latihan berbentuk reskilling dan upskilling. Melalui usaha ini, graduan universiti awam, graduan di IPTS, politeknik dan kolej komuniti bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 yang masih belum bekerja ditawarkan tempat untuk mengikuti program-program latihan berbentuk reskilling dan upskilling; (ii) melaksanakan Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan. Program Intervensi ini memberikan nilai tambah kepada graduan yang dikenal pasti rendah kadar kebolehpasarannya iaitu CGPA 3.3 ke bawah atau daripada program-program pengajian yang rendah kadar kebolehpasaran iaitu 50 peratus ke bawah; (iii) melaksanakan Structured Internship Programme (SIP) dan SIP ini merupakan program penempatan pelajar untuk latihan
industri secara berstruktur dan seterusnya ditawarkan penempatan di industri secara kekal sejurus menamatkan latihan; (iv) menyemak dan menambah baik secara berkala kandungan modul dan program akademik yang ditawarkan. Saringan dilaksanakan bersama beberapa jabatan dan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perangkaan Malaysia, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh, TalentCorp, badan profesional lain bagi memastikan program-program akademik atau bidang pengajian ditawarkan oleh IPT adalah sejajar dengan keperluan guna tenaga negara; dan (v) membangunkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 dan pelan ini dihasilkan hasil daripada libat urus pelbagai pihak berkepentingan seperti pihak industri, akademia, pembuat dasar dan sebagainya. Ia menggariskan empat strategi iaitu pengukuhan kecemerlangan bakat, perluasan kerjaya pelajar, pemantapan pengajaran dan pembelajaran dan pemerkasaan hubungan industri. Pelaksanaan program di bawah strategi menjadi lebih tersusun dan dijangkakan keberhasilannya dapat melahirkan graduan yang lebih holistik dan seimbang. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Machang.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih di atas jawapan daripada Yang Berhormat Menteri. Di IPT kita, menyediakan banyak kursus yang ditawarkan. Terdapat kursus yang daripada segi kebolehpasaran kerjanya amat mudah. Ada kursus-kursus apabila graduan kita tamat pengajiannya susah untuk mendapatkan kerja. Ada tidak pihak kementerian membuat suatu kajian yang menyeluruh untuk memperkasakan kursus-kursus kebolehpasaran kerja ini dipertingkatkan oleh pihak kementerian? Soal bidang kemahiran ini, kita dapati telah mendapat tawaran daripada pihak swasta. Sejauh manakah elemen kemahiran ini diterapkan atau diperkasa oleh pihak kementerian bagi melahirkan pelajar-pelajar yang berkemahiran tinggi secara holistik? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat yang sentiasa prihatin mengenai graduan dan juga kebolehpasaran graduan di Malaysia ini. Pihak kementerian sebenarnya Yang Berhormat, sangat peka dengan keadaan dan keperluan semasa. Kita di peringkat kementerian sentiasa merancang inisiatif untuk memastikan graduan sebenarnya berdaya saing. Antara strategi kementerian untuk memastikan graduan ini dilahirkan kalis masa hadapan, holistik dan sedia untuk bekerja serta meningkatkan kebolehpasaran ini, ada beberapa perkara yang kita buat. Antara strategi-strategi yang telah dilaksanakan oleh kementerian seperti yang saya maklumkan tadi, melakukan ataupun melaksanakan program latihan berbentuk reskilling, upskilling dan kita ada Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan. Kita juga laksanakan Structured Internship Programme. Kita juga tambah baik secara berkala kandungan modul dan program akademik yang ditawarkan secara bersekala. Baru-baru ini kita ada lancarkan dan bangunkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025.
Seterusnya pula, mengenai kemahiran dalam usaha kementerian untuk melahirkan kemahiran-kemahiran tinggi dan holistik.
Kementerian juga telah memperkenalkan kokurikulum tersedia masa hadapan- future ready curriculum bagi menerapkan kemahiran sebagai teras untuk melahirkan graduan yang holistik, ia merangkumi tiga elemen utama iaitu structured curriculum- lentur dan organik, penyampaian transformasi PdP dan pentaksiran holistik. Baru-baru ini dilancarkan kerangka excel ataupun experiential learning dan kompetensi based education landscape dan ia merupakan transformasi program akademik yang mengintegrasikan pengalaman pelajaran yang berpacu industri lab dan ketahanan komuniti, penerapan penyelidikan dan fleksibiliti dalam usaha kementerian untuk menghasilkan graduan yang mempunyai atribut dan juga kemahiran. Itu sahaja, terima kasih banyak.
Papar.
Yang Berhormat Batu Gajah.
Papar.
Yang Berhormat Batu Gajah.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Sesungguhnya tidak mencukupi sekadar kita menghasilkan puluhan ribu- orang graduan tetapi mereka tidak mendapat pekerjaan terutamanya dalam keadaan ekonomi yang menguncup. Adakah kementerian mengadakan sebarang kolaborasi dengan pihak industri dan pihak swasta dalam isu kebolehpasaran graduan? Mohon Yang Berhormat Menteri jawab. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah atas soalan tambahan yang diberikan. Kementerian sememangnya ada kolaborasi antara kementerian bersama dengan pihak industri dan juga pihak swasta untuk memastikan isu kebolehpasaran graduan ini dapat di atasi. Dalam konteks ini tadi, soalan sebelum ini, saya maklumkan bahawa kita sudah melancarkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan, dan kita telah mewujudkan untuk makluman Yang Berhormat, kementerian juga telah mewujudkan pelbagai program kolaborasi antara pihak swasta dan juga industri. Hal ini untuk memastikan bahawa permintaan pasaran pekerjaan dan keperluan industri itu dapat dipenuhi, dan antara program, kalau saya boleh kongsi di sini ialah program Industry at University Yang Berhormat. Di mana program ini sebanyak 18 Competence Centre, empat University Revolution Teaching Factory (URTF) MTUN and 20 Makers at University kita telah wujudkan. Selain daripada itu, kita juga ada di kementerian- program 4.0 Industry Revolution Competence Centre. Program ini ia mewujudkan prasarana dan memperkasakan pembelajaran dan penyelidikan menggunakan digital terkini yang berkaitan dengan IR.4.0 di samping perkongsian ilmu, kemahiran dan teknologi terkini dengan agensi kerajaan, industri dan masyarakat. Program University Revolution Teaching Factory (MTUN) selepas itu seterusnya program Makers at University dan itu antara lainnya tetapi on top of that kita juga ada Research and Enhanced Structured Internship Programme. Ia bertindak sebagai pemangkin untuk merancakkan hubungan kerjasama penyelidikan yang strategik dan mapan antara universiti, dan juga industri dengan melalui gabungan latihan industri (LI) dan projek sarjana muda pelajar. Itu antara lain Yang Berhormat atas soalan yang telah diberikan. Terima kasih.
Terima kasih.
Satu, pendek sahaja.
Yang Berhormat Simpang Renggam, sikit sahaja. Ya.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sewaktu saya berada di KPM dahulu kita telah mewujudkan Jawatankuasa Data Raya.
Antara usaha kita ialah untuk menggunakan big data, artificial intelligence, dengan izin, kepandaian buatan dan juga deep analytics untuk membantu isu kebolehpasaran graduan. Saya cuma inginkan kepastian sahaja, sejauh manakah JK Data Raya- Big Data Committee ini masih ada dan digunakan? Big data, A.I dan juga deep analytics untuk tujuan tersebut. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Simpang Renggam. Usaha Yang Berhormat Simpang Renggam itu, pihak kementerian kita masih lagi laksanakan dan kita di peringkat kementerian ada membuat kajian semula mengenai perkara tersebut dan kita tambah baik kepada apa yang telah Yang Berhormat Simpang Renggam laksanakan dan mulakan semasa di kementerian. Terima kasih.
Terima kasih. Seterusnya Yang Berhormat Datuk Haji Hasanuddin.
Terima kasih. Berakhir sudah suasana muafakat; Kedua mempelai semakin tak rapat; Raya di Melaka tanpa ketupat, Soalan saya nombor empat... [Tepuk]
4. Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus [Hulu Langat] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan, sama ada Tourism Malaysia akan menambah pegawai-pegawainya di luar negara bagi mempromosikan tempat-tempat pelancongan Malaysia pasca pandemik COVID-19.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Hulu Langat. Kalau ditanya “muruku” dan juga “apam”, saya akan jawab, baharu lepas Deepavali. Terima kasih. Setakat hari ini 9 November 2021, Tourism Malaysia sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempunyai 30 buah pejabat Tourism Malaysia di luar negeri yang sedang beroperasi di lebih 20 buah negara di seluruh dunia. Untuk makluman, perjawatan pegawai home-based di setiap pejabatnya seramai dua orang dan pada masa ini terdapat seramai 36 orang pegawai yang sedang mengisi perjawatan di kesemua pejabat luar negara tersebut. Mengenai kekosongan jumlah pejabat ataupun kelulusan yang kita ada ialah sebanyak 35, jumlah pejabat yang beroperasi pada hari ini ialah sebanyak 30, jumlah keseluruhan waran untuk 35 buah pejabat ialah sebanyak 70. Maka jumlah keseluruhan waran bagi pejabat yang telah diisi ialah sebanyak bagi 30 buah pejabat sebanyak 60. Maka jumlah Waran Perjawatan yang perlu diisi seramai 24 orang dan keseluruhan jumlah pengisiannya ialah 36. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Pelancongan merupakan suatu yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara kita cuma kita kena pandai mencari negara dan rakyat yang mana berpotensi untuk diajak melancong ke negara kita selepas COVID-19 ini. Soalan saya adakah kerajaan akan buka atau memperkukuhkan Pejabat Tourism Malaysia di negara-negara yang berpotensi seperti Qatar, Bahrain dan negara teluk yang lain untuk mempertingkatkan lagi promosi kita di sana, di samping kita kekal menjaga keselamatan, kesihatan pegawai kita di negara orang. Terima kasih.
Terima kasih atas soalan tambahan tadi. Pertama sekali buat masa ini memang kita tidak akan menambah mana-mana kekosongan sehingga 31 Disember 2021, sealiran dengan nota daripada Kementerian Kewangan untuk mereka keluar dan juga sebagainya.
Maka, dalam kekangan yang kita ada pada masa ini selain daripada kita buka pejabat-pejabat baharu yang memerlukan kos yang tinggi dan juga sebagainya kerana peruntukan pejabat itu juga bergantung dalam bajet atau belanjawan. Kalau diperhatikan, ia tidak ada peruntukan untuk pembukaan pejabat-pejabat baharu. Akan tetapi apa yang kita perlu buat ialah memperkasakan 30 buah pejabat yang telah sedia ada. Contohnya, kalau kita tengok di negara India dan juga sebagainya, kita ada tiga buah zon. Maka kalau kita tengok daripada pendapatan yang lepas, yang harus kita fokus ialah negara-negara yang ramainya pelawat datang ke Malaysia khususnya daripada Arab Saudi, China dan juga sebagainya. Kalau kita tengok negara China sahaja ia menggunakan data tahun 2019, kita hampir ada seramai tiga juta lebih yang datang ke Malaysia merupakan satu angka yang besar. Begitu juga kalau tengok dengan negara India pula, seramai 375 ribu sahaja. Maka ada banyak potensi tidak payah kita pandang jauh tetapi kita tengok negara India dan China sahaja di Rantau Asia Tenggara sendiri mempunyai banyak potensi. Contohnya di India, sebuah negara yang mempunyai 1.3 bilion orang. Andai kata 10 peratus boleh merantau, dan sekiranya daripada itu kalau kita dapat dua atau tiga peratus pun jauh daripada angka tersebut. Maka kita harus memperkasakan pejabat-pejabat kita yang telah sedia ada. Terima kasih.
Yang Berhormat Kuala Krai.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Bagi mengenal pasti tahap kesediaan negara untuk membuka kembali sektor pelancongan antarabangsa, sudah pasti data daripada Tourism Malaysia ke luar negara akan dijadikan sebagai panduan.
Soalan saya ialah, bilakah kesediaan atau kebersediaan negara kita Malaysia ini untuk membuka Tourism Malaysia kepada pelancongan dari luar negara secara menyeluruh? Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Daripada segi kesediaan ataupun our preparedness kalau kita tengok daripada segi produk-produk kita di Malaysia, memang hampir keseluruhannya telah pun bersiap sedia. Oleh sebab itu kita membuka gelombang untuk domestik terlebih dahulu dan kita mendapati sekarang, di banyak tempat hotel-hotel pun sudah mencukupi ataupun sukar untuk mendapatkan tempat. Maka daripada segi pelancongan dari luar negara pula, ia melibatkan beberapa perkara, bukan sahaja daripada segi MOTAC, tetapi kita pergi agensi ataupun kementerian yang bersedia tetapi juga bergantung kepada Kementerian Luar Negeri dan juga KDN kerana, mereka harus juga membuka sempadan. Keduanya, adalah dalam era pandemik ini kita mendapati banyak penerbangan yang datang ke Malaysia ini mereka telah pun berhenti dan ia memerlukan masa untuk mereka membuka kembali sektor iaitu connectivity. Isu connectivity itu kita sedang bekerjasama dengan agensi-agensi dan juga penerbangan. Ketiganya, adalah kalau kita tengok daripada bajet yang diberikan dalam ini, memang kita ada perhatian khusus untuk Tourism Malaysia untuk membawa pelancong- pelancong ini ke Malaysia. Ia ada perancangan jangka pendek dan perancangan jangka panjang. Mungkin kerana masa saya tidak dapat menjawab secara terperinci. Terima kasih.
Terima kasih.
Tumpat hendak minta jawab pantun.
Tuan Yang di-Pertua, pendek sahaja Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di- Pertua.
Maaf, dari sebelah sini saya ke sebelah sana. Yang Berhormat Balik Pulau.
Tumpat hendak minta jawab pantun.
Terima kasih, terima kasih. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jikalau mengikut trend pelancongan sekarang, ia banyak bergantung kepada digital marketing. Saya meneliti jawapan tadi, kita ada 30 buah pejabat Tourism Malaysia di luar negara. Ada yang dekat-dekat Osaka dengan Tokyo. Kalau ikut naik Shinkansen baru dua jam setengah sahaja. Kenapa kita perlu ada pejabat yang berdekatan sedangkan kita perlu melebihkan visibility kita di mata dunia. Jadi saya harap kalau Tourism Malaysia boleh meneliti semula pejabat-pejabat ini dan tumpukan bajet itu kepada digital marketing. Ada jawapan?
Terima kasih.
Terima kasih. Satu soalan yang baik daripada Yang Berhormat Balik Pulau. Saya yakin Yang Berhormat pun adalah mantan Timbalan Menteri maka ini merupakan satu persoalan kepada saya apabila saya sendiri telah mengangkat sumpah. Maka saya yakin ia dalam kajian dan juga sebagainya. Soalan yang kedua tadi adalah mengenai apabila adanya pejabat dekat, mengapa kita perlu– maka itu adalah proses rasionalisasi. Saya difahamkan TM sedang menjalankan proses rasionalisasi dan ada kemungkinan di negara-negara tertentu kita akan menggunakan agensi ejen. Maka tidak perlu ada pejabat tetapi kita gunakan general sales agent dan sebagainya. Itu satu perniagaan, business model yang baharu yang digunakan. Ketiganya, soalan dalam soalan tadi adalah mengenai norma-norma baharu untuk jangka pendek dan jangka panjang. Contohnya, saya mengakui bahawa lebih banyak kempen PR norma baharu akan dilakukan melalui digital dan kita juga akan menggunakan pelbagai – seperti Webinar, e-consumer, pameran pelancongan virtual. Selepas itu kita juga akan memastikan bahawa peningkatan promosi yang digunakan secara digital khususnya akan dipertingkatkan. The focus in terms towards the market segment itu telah pun kita kenal pasti tetapi in terms of segmentation targeting and positioning juga akan kita lakukan bergantung kepada pasaran-pasaran tersebut.
Terima kasih.
Boleh minta jawab pantun?
Satu sahaja Tuan Yang di-Pertua.
Boleh tiga soalan sahaja Yang Berhormat. Untuk satu soalan, boleh tiga soalan tambahan sahaja Yang Berhormat, maaf. Seterusnya Yang Berhormat Dato' Dr. Mohd Khairuddin.
5. Dato' Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Kewangan menyatakan rancangan dan tindakan kerajaan dalam melaksanakan Tax Reform bagi memastikan hasil pendapatan negara kembali stabil sebagai persediaan negara memasuki fasa pemulihan ekonomi.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kuala Nerus. Untuk makluman Yang Berhormat, sebuah Jawatankuasa Pembaharuan Cukai, Tax Reform Committee (TRC) dengan izin telah ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan
pada 29 September 2018 untuk mengkaji sistem percukaian sedia ada dan mengemukakan cadangan untuk menambah baik, memperbaharui sistem dan dasar cukai negara. Kajian yang dijalankan Yang Berhormat, melibatkan konsultasi pelbagai pihak berkepentingan dan kerjasama rapat dengan agensi percukaian utama iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Untuk makluman Dewan yang mulia, pada Disember 2019, TRC telah mengemukakan beberapa cadangan pembaharuan cukai untuk pertimbangan pihak kerajaan. Antara langkah utama yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah: (i) mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang ke luar negara bagi laluan udara bermula 1 Julai 2019; (ii) mengenakan duti eksais bermula 1 Julai 2019 ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum; (iii) menjalankan Program Khas Pengakuan Sukarelawan untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan bagi tujuan cukai; (iv) mengenakan sekatan masa ke atas kerugian perniagaan bagi elaun pelaburan semula dan baki rugi perintis yang tidak dapat diserapkan untuk mengurangkan ketirisan; dan (v) penstrukturan semula pemberian insentif percukaian secara menyeluruh. Untuk makluman Yang Berhormat, sebahagian lagi cadangan TRC masih diteliti bagi melihat tempoh masa yang sesuai untuk dilaksanakan. Adalah penting pelaksanaan langkah meningkatkan hasil cukai ini tidak akan menambah beban kepada rakyat dan tidak menjejaskan kedudukan ekonomi serta daya saing negara untuk menarik pelaburan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih, soalan tambahan pertama.
Ya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan tadi. Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang bergerak untuk reformasi percukaian ini. Cuma saya ingin minta penjelasan daripada kerajaan tentang cadangan daripada PAS untuk kita laksanakan cukai yang lebih progresif yang diambil daripada kantung orang-orang kaya iaitu cukai pegangan saham dan cukai keuntungan saham. Dengan melihat bahawa, orang-orang Islam pada hari ini yang terlibat dengan pegangan saham ataupun keuntungan saham ini mereka memang membayar cukai yang dipanggil zakat sebanyak 2.5 persen dan kalau kita ambil data yang terakhir, kita ada dana lebih kurang ataupun nilai pegangan saham ialah sekitar RM2 trilion, RM1.9 trilion kita boleh mendapat cukai sehingga RM50 bilion. Apakah pandangan kerajaan dalam perkara ini? Terima kasih.
Terima kasih, silakan Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kuala Nerus. Setakat hari ini Tuan Yang di-Pertua, kerajaan belum melaksanakan capital gains tax dengan izin secara menyeluruh. Termasuk sepertimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi mengenakan cukai ke atas keuntungan daripada pasaran modal dan keduanya, cukai pegangan saham. Untuk makluman Yang Berhormat, melalui ucapan Yang Berhormat Menteri Kewangan dalam Bajet 2022 pada 29 Oktober tempoh hari, kerajaan telah mengumumkan beberapa cadangan untuk menambahkan kutipan hasil antaranya, pertama meningkatkan kadar duti setem dari 0.1 peratus hingga 0.15 peratus bagi nota kontrak jual beli saham
tersenarai di Bursa Malaysia berkuat kuasa pada 1 Januari 2022. Kerajaan menganggarkan penambahan hasil negara adalah sebanyak RM400 juta. Kedua, kerajaan juga menyemak semula layanan pengecualian cukai pendapatan dari sember luar negara yang diterima di Malaysia yang diberi sejak 1995, berkuat kuasa pada 1 Januari 2022. Kerajaan mencadangkan supaya semua pendapatan daripada sumber luar negara dikenakan cukai yang sama seperti pendapatan dari dalam negara yang tertakluk kepada cukai pendapatan. Tuan Yang di-Pertua, anggaran pendapatan untuk tahun 2022 adalah sebanyak RM1.2 bilion. Ketiga, kerajaan juga mencadangkan untuk mengenakan cukai makmur secara sekali sahaja one-off dengan izin sebagai satu langkah memastikan sepertimana Yang Berhormat sebutkan tadi iaitu untuk kita memastikan sistem kesihatan awam negara lebih berdaya tahan. cukai makmur ini tidak akan– kita lihat Tuan Yang di-Pertua, ia tidak melebihi jumlah syarikat yang besar hanya 250 buah syarikat yang menjana pendapatan tinggi dan tahun taksiran 2022 sahaja. Hasil tambahan yang kita jangkakan adalah kurang daripada RM3 bilion.
Terakhirnya, Tuan Yang di-Pertua, kita juga akan melaksanakan satu program khas pengakuan sukarela untuk cukai tidak langsung sebelum ini sepertimana yang saya sebut dalam jawapan tadi, cukai langsung di bawah LHDN. Kita akan memperkenalkan program khas pengakuan sukarela untuk cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Ini kita anggarkan, Yang Berhormat Kuala Nerus, hampir RM1 bilion. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan. Saya cuma hendak bertanya, dalam Bajet 2022, kita memperkenalkan windfall tax, dengan izin. Akibat daripada windfall tax, kita telah lihat kejatuhan market cap di bursa saham lebih daripada RM33 bilion. Apakah rancangan kerajaan untuk mengimbangkan keadaan yang kita hadapi untuk mengembalikan atau mengekalkan keyakinan pelabur-pelabur di dalam industri kewangan negara? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ahli Yang Berhormat Alor Gajah atas persoalan yang telah juga saya jawab sebahagian jawapannya tadi semasa menjawab soalan Yang Berhormat Kuala Nerus. Yang dibangkitkan bukan windfall tax. Yang dibangkitkan adalah cukai makmur. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Alor Gajah, antara lebih 900 firma yang tersenarai di Bursa Malaysia, hanya 145 firma membuat pendapatan sebelum cukai melebihi RM100 juta pada tahun kewangan 2019 dan pada tahun kewangan 2020 hanya 125 syarikat sedemikian memperoleh lebih daripada RM100 juta. Kerana cukai makmur ini, seperti mana Yang Berhormat sedia maklum, kita akan kenakan lebihan daripada RM100 juta keuntungan sebanyak 33 peratus. Kalau kita melihat, Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan data Bloomberg, hanya 113 syarikat mencapai tahap pendapatan sebelum cukai yang sama sepanjang dua tahun kewangan yang lalu. Seperti mana Yang Berhormat sebutkan tadi, sememangnya kita telah melihat beberapa reaksi mendadak dalam pasaran berikutan pengumuman cukai makmur. Namun, selepas lebih seminggu, pergerakan dalam FBM papan utama KLCI menjadi normal dalam julat 1,530 ke 1,540 iaitu penurunan dua peratus berbanding tahap sebelum Belanjawan 2022. Walau bagaimanapun, kita mengambil maklum pandangan Yang Berhormat dan kerajaan sedang memantau pergerakan di Bursa Malaysia dari semasa ke semasa dan kita akan lihat kesan kadar cukai yang lebih tinggi akan dapat diatasi. Kerana dalam Pelan Pemulihan Negara, Tuan Yang di-Pertua, kita tidak boleh mengenakan, seperti mana Yang Berhormat cadangkan, iaitu windfall tax yang begitu
akan memberi kesan impak. Sekiranya kita lakukan langkah-langkah cukai tanpa kita melihat secara ekosistem yang lebih luas, kita risau kesannya lebih besar walaupun kita hendak mengimbangi di antara keperluan semasa dan pembiayaan untuk fiskal tambahan pada tahun 2022. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
6. Puan Hajah Natrah binti Ismail [Sekijang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan rasionalnya pemegang kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu memperbaharui kad mereka setiap tahun bagi membolehkan mereka untuk mendapatkan bantuan secara bulanan.
Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat atas soalan dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memohon izin untuk menjawab pertanyaan daripada Yang Berhormat Sekijang bersekali dengan pertanyaan Yang Berhormat Gopeng bertarikh hari ini kerana pertanyaan tersebut saling berkait dengan merujukkan isu yang sama. Tuan Yang di-Pertua, pendaftaran OKU adalah tertakluk kepada Akta OKU 2008 [Akta 685] dan ia dilakukan secara sukarela atas dasar tanggungjawab sosial. Berhubung dengan pertanyaan daripada Yang Berhormat Sekijang, sebenarnya tiada keperluan untuk pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat memperbaharui kad mereka setiap tahun bagi membolehkan mereka mendapatkan bantuan kewangan secara bulanan. Pembaharuan kad OKU hanya perlu dilakukan sekiranya terdapat perubahan kategori atau subkategori OKU. Pemegang kad juga boleh membuat penukaran kad sekiranya ingin menukar alamat atau gambar terkini. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat Gopeng, mengikut statistik Sistem Makluman Orang Kurang Upaya, sehingga 30 September 2021, sejumlah 582,944 orang OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Secara keseluruhan dari tahun 2018 hingga 13 Oktober 2021, sejumlah 163,647 permohonan pendaftaran OKU yang telah diterima dan 153,627 orang telah diluluskan permohonan mereka. Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan bagi OKU yang berdaftar dan menepati syarat-syarat bantuan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Sehingga Ogos 2021, seramai 92,265 orang OKU yang bekerja yang berpendapatan RM1,500 dan ke bawah telah menerima Elaun Pekerja OKU sebanyak RM450 sebulan dengan jumlah keseluruhan RM329.6 juta. Melibatkan kos ya. Manakala seramai 83,929 orang OKU yang tidak bekerja telah menerima bantuan OKU iaitu elaun yang tidak berupaya bekerja dengan kos melibatkan RM202.5 juta. Selain daripada itu, seramai 25,835 orang penjaga OKU atau pesakit terlantar telah menerima bantuan penjagaan OKU yang berjumlah RM106.8 juta. Jadi, ini bermaksud seramai 202,029 OKU iaitu hampir 35 peratus OKU yang berdaftar atau penjaganya telah menerima bantuan JKM dengan nilai sebanyak RM638.9 juta sehingga Ogos 2021. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Jika sebelum ini pesakit mental dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam urusan rawatan dan penempatan, namun, hakikatnya kini pesakit mental telah diklasifikasikan sebagai OKU atau juga dikelaskan kepada kategori ketidakupayaan intelektual dan diselia oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Soalan saya. Sejauh manakah ketersediaan dan kemampuan pihak JKM dalam mengambil alih tugas penjagaan, rawatan dan penempatan golongan OKU ini memandangkan tiada penempatan khas atau khusus disediakan kepada pesakit mental ini untuk mendapatkan penempatan dan rawatan yang sesuai agar isu golongan OKU yang terabai dan tidak terurus dapat diatasi? Terima kasih.
Terima kasih. Saya rasa agak lari daripada soalan asal tetapi...
Ya, ya.
...Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh jawab?
Ya, saya hanya jawab soalan secara umum ya, Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya isu yang berkaitan dengan masalah rawatan kesihatan berkaitan OKU ini di bawah bidang kuasa KKM. Kami di JKM hanya membantu dari sudut bantuan kebajikan. Untuk makluman Dewan, sehingga 30 September 2021 di mana statistik pendaftaran OKU mental ini yang melalui JKM adalah 48,902 orang.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Soalan saya ialah adakah semua pemegang kad OKU secara automatik akan menerima bantuan daripada pihak JKM? Dan bagaimanakah kementerian menilai sesuatu bantuan itu sama ada perlu dinaikkan jumlah bantuan ataupun dikurangkan bahkan mungkin ada yang perlu dipotong? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan yang dikemukakan. Sebenarnya tidak semua pemegang kad OKU layak menerima bantuan. Ia tertakluk kepada syarat pemegang kad OKU yang berpendapatan bawah daripada RM3,000 pendapatan isi rumah layak memohon. Bagi mereka yang bekerja untuk mendapat Elaun Pekerja Cacat ialah yang berpendapatan bawah daripada RM1,500 sebulan. Jadi, sebenarnya kita menggalakkan semua ibu bapa yang mempunyai anak- anak OKU untuk mendaftarkan anak-anak mereka untuk mendapat kad OKU sebab banyak keistimewaan yang disediakan di bawah kerajaan sama ada di bawah swasta ataupun kerajaan. Kita senaraikan ada lebih kurang 32 kemudahan yang disediakan sama ada melalui kerajaan ataupun swasta. Jadi, kita harapkan supaya anak-anak yang OKU ini berdaftar untuk mereka layak mendapat mana-mana kemudahan yang sesuai bagi mereka.
7. Dato' Sri Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan adakah ‘sosialiti’ di institut pengajian tinggi awam (IPTA) / institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pembelajaran secara hibrid.
Yang Berhormat Menteri, sebelum menjawab, saya rasa perkataan nombor lima di barisan kedua itu adalah ‘fasiliti’ ya dan bukan ‘sosialiti’ ya. Silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, SOP pengajaran dan pembelajaran secara hibrid yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 23 September 2021 bagi semester satu, sesi akademik 2021/2022. Pembelajaran secara hibrid adalah proses pengajaran dan pembelajaran di kampus secara bersemuka dan dalam waktu yang sama ada juga PdP dalam talian. Kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus IPT telah dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 15 Oktober 2021 dan semua pelajar di kampus boleh menjalani PdP secara bersemuka. Manakala pelajar yang belum kembali ke kampus pula boleh meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing. Dari segi kesediaan IPT semua institusi telah melaksanakan pembelajaran secara hibrid dengan memberi penekanan mengatasi isu kemudahan pembelajaran dalam talian seperti internet, pemilikan peranti elektronik pelajar serta kemudahan peralatan PdP dan latihan yang diperlukan oleh tenaga pengajar.
Dalam hubungan ini, KPT telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan ketersediaan IPTA dalam memberikan suasana PdP hibrid yang kondusif kepada pelajar. Ini termasuklah menyediakan capaian jalur lebar yang bersesuaian di IPT, menaik taraf MYREN, serta memberikan bantuan peranti seperti sumbangan lap-top dan pelan data yang bersesuaian kepada pelajar. Selain daripada itu, kurikulum program juga telah disesuaikan dengan kaedah pembelajaran dalam talian dan juga hibrid penyelarasan kandungan program dibuat secara- agar dapat memenuhi keperluan pelajar dan ia mengambil kira kandungan pembelajaran yang memenuhi standard program, pendekatan pembelajaran yang lebih fleksibel dan kaedah penilaian yang berbeza daripada kaedah konvensional. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan Yang Berhormat.
[Berdiri]
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya dengar apa yang dibahaskan Yang Berhormat Menteri tadi berkaitan dengan pelaksanaan pembelajaran secara hibrid. Saya faham kerajaan sedaya upaya sedang memastikan segala facilities khususnya berkaitan dengan jalur lebar dan sebagainya, tetapi apakah pendekatan, kerjasama di antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan KKMM. Kalau ada, sila maklumkan secara terperinci sebab saya masih dengar di luar sana, ada dua kaedah. Saya setuju pelajar masuk ke universiti belajar secara hibrid dalam universiti dan ada masa waktu dan ketika ada keperluan, mereka boleh bersemuka dengan guru-guru. Itu satu kaedah yang bagus. Akan tetapi masih lagi kedengaran pelajar-pelajar yang duduk di kawasan luar bandar, mereka sangat-sangat menghadapi masalah 3G, 5G dan sebagainya. Jadi, saya minta kementerian Yang Berhormat, Menteri ‘KPKT’, mesti ada satu kaedah yang betul-betul berhubung dan berkait rapat untuk bekerja dengan KKMM ini bagi memastikan perkara ini dapat diselesaikan.
KPT bukan KPKT.
No, Kementerian Pengajian Tinggi bekerjasama dengan KKMM, oleh sebab ini jalur lebar Tuan Yang di- Pertua. Jalur lebar ini, jadi ini masalah 3G, 5G ini. Akhir sekali saya hendak tanya. Apakah pihak KPT akan membenarkan semua IPT/ IPTS mengadakan konvensional konvokesyen secara fizikal. Ini penting dan apakah kaedah RTK-RTK nya dapat dilakukan. Ini amat-amat penting untuk anak-anak, pelajar- pelajar kita hendak tahu. Ibu bapa khuatir apakah konvokesyen ini boleh dilakukan dengan adanya pelbagai yang saya sebutkan tadi yang berkaitan dengan ujian RTK tadi. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Baling. Sepertimana yang saya maklumkan tadi, semua IPT telah melaksanakan pembelajaran secara hibrid yang bermaksud mereka boleh datang ke kampus berdasarkan kepada enam kategori utama untuk masuk ke kampus dan mereka boleh juga menjalankan PdP tersebut dari rumah masing-masing. Memang kita seringkali menjalankan kerjasama bersama KKMM dan juga perbincangan dibuat secara berterusan dengan KKMM. Akan tetapi mana-mana pelajar yang menghadapi masalah internet di lokaliti masing-masing, boleh kembali ke kampus untuk melaksanakan PdP secara hibrid dan boleh juga melaksanakan secara bersemuka. Mengenai konvokesyen pula, konvokesyen ini di negeri di fasa tiga dan empat, PPN tidak ada halangan untuk menganjurkan majlis konvokesyen di kampus masing- masing tetapi SOP perlu dipatuhi. SOP itu telah ditetapkan oleh MKN. Untuk makluman Yang Berhormat pula, sehingga 8 November kebanyakan UA telah banyak membuat perancangan untuk melaksanakan majlis konvokesyen sama ada secara hibrid ataupun
bersemuka untuk graduan tahun 2020 dan tahun 2021 yang tertangguh disebabkan oleh COVID-19. Mengenai RTK pula, soalan Yang Berhormat mengenai RTK pula adalah- memang kita sambut baik. Apabila pelajar itu kembali ke kampus, kita telah melaksanakan test, ujian kendiri RTK diberi keutamaan kepada kumpulan pelajar yang akan kembali ke kampus. Kekerapan dia, kalau sekiranya ada keperluan, misalnya kumpulan pelajar berisiko tinggi, maka ianya akan diselaraskan oleh pusat ataupun unit kesihatan di IPT masing-masing. Terima kasih Yang Berhormat.
Papar minta laluan.
Ya, Yang Berhormat Papar.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya. Apakah kementerian akan melaksanakan pembukaan IPT sepenuhnya bagi membenarkan kemasukan semua pelajar ke kampus apabila negara kita memasuki fasa endemik? Apakah bentuk bantuan kewangan dan juga pakej penjagaan COVID-19 kepada pelajar-pelajar sepanjang mereka berada di kampus nanti? Bagaimana pula pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak yang akan pulang ke kampus di Semenanjung ataupun di Sarawak, adakah mereka juga akan dibantu seperti pemberian tiket kapal terbang dan yang lain-lain? Terima kasih.
Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat daripada Parlimen Papar. Ketika ini pembukaan kampus IPT dibuat secara berperingkat, bermula 15 Oktober tempoh hari, setelah mendapat kelulusan daripada MKN. Akan tetapi apabila kita hendak minta student itu masuk, kementerian punya pendekatan ialah kita harus mengikut dan juga patuh kepada SOP yang telah ditetapkan iaitu 50 percent daripada kapasiti ataupun ruang yang disiapkan untuk pelajar itu belajar. Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi juga bersedia untuk mempertimbangkan kelonggaran lain seperti dalam SOP pengoperasian IPT semasa fasa endemik, termasuk semasa pembukaan penuh IPT, tertakluk kepada perubahan dan kelonggaran yang diberikan oleh MKN melalui SOP endemik PPN yang bakal dikeluarkan itu nanti. Pelbagai jenis bantuan yang telah kita berikan sebenarnya Yang Berhormat, antaranya adalah, tadi ada saya maklumkan mengenai self test kit ataupun kit ujian kendiri dan dalam waktu yang sama juga, KPT turut membantu pelajar yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan bagi destinasi lapangan terbang terpilih terutamanya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tadi soalan Yang Berhormat dari Sabah ke Sarawak ataupun ke Semenanjung. Kita ada inisiatif yang kita namakan fly to campus. Melalui inisiatif ini pelajar berpeluang mendapatkan tawaran harga yang terbaik daripada syarikat penerbangan. Selain daripada itu, pelajar terutamanya daripada kalangan B40, kita ada siapkan pemberian baucar makanan percuma di kampus iaitu food at campus Keluarga Malaysia dan untuk keselamatan pelajar tersebut juga kita ada back to campus dan penawaran peluang pekerjaan kalau sekiranya mereka telah bergraduat melalui Get Hired at KPT. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih.
Satu lagi soalan tambahan.
Yang Berhormat Kulai. Yang Berhormat Kulai.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Ya.
Soalan tambahan saya. Saya rasa untuk sepanjang dua tahun ini banyak mahasiswa mahasiswi sebenarnya menjalankan PdPR di rumah juga. Jadi saya melihat bahawa memang KPT ada usaha untuk pastikan IPTA untuk
turunkan yuran tetapi untuk pelajar-pelajar di IPTS, setakat ini mereka tidak terima apa- apa diskaun untuk yuran mereka. Jadi saya hendak tanya di sini. Apa usaha KPT untuk pastikan IPTA juga berilah sedikit sebanyak diskaun yuran untuk mahasiswa mahasiswi di IPTS terutamanya seperti UTAR yang sebenarnya dapat RM30 juta peruntukan daripada kerajaan ini.
Selain itu, saya hendak tanya bila IPT di Malaysia boleh terima pelajar-pelajar antarabangsa untuk pulang ke Malaysia untuk sambung pelajaran mereka? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kulai. Untuk pelajar antarabangsa, telah dibenarkan tetapi ia bergantung pada SOP yang telah saya nyatakan tadi yang telah ditetapkan oleh MKN. Bermaksud international student boleh kembali untuk belajar di dalam negara ini. Mengenai bantuan ataupun daripada segi pengurangan yuran. Saya ada menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Muar sebelum ini mengenai pengurangan yuran di kalangan IPTS. IPTS ini di bawah akta syarikat tetapi KPT, saya telah juga melalui kementerian, kita telah juga membuat engagement bersama IPTS-IPTS berkenaan agar mereka juga boleh membantu mengurangkan yuran atau memberi pelbagai jenis insentif kepada pelajar berkenaan. Ada universiti juga yang telah melaksanakan pengurangan yuran dan juga insentif berkenaan tetapi datanya saya tidak ada universiti mana. Saya tidak ada sekarang tetapi saya boleh provide secara bertulis kepada Yang Berhormat mengenai IPTS berkenaan. Terima kasih.
8. Tuan Sim Tze Tzin [Bayan Baru] minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan kepada 4,800 nelayan Zon B dan ribuan awak-awak apakah perancangan penutupan Zon B pada tahun 2030 (yang baru diumumkan). Apakah exit plans atau program yang akan ditawarkan kepada mereka yang terjejas.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan nombor lapan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, MAFI melalui jabatan atau Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah pun memperkenalkan dasar penstrukturan semula pukat tunda Zon B bermula dari tahun 2016 sehingga kepada tahun 2030 secara soft landing. Kedudukan vessel yang ada dalam negara kita jumlah keseluruhan adalah 48,000 vessel yang ada, yang beroperasi di Zon B adalah 2,013 vessels sahaja. Pukat tunda ini merupakan peralatan menangkap ikan yang bersifat destruktif dan ia bukan selektif menyebabkan kerosakan sumber pembiakan ikan sangat ketara dan kerajaan menyasarkan sifar pukat tunda Zon B ini menjelang tahun 2030. Lantaran itu, kerajaan mengambil beberapa langkah, saya jawab dengan ringkas, ada tiga langkah yang diambil oleh pihak kerajaan. Pertama, MAFI berbesar hati apabila diberi peruntukan sebanyak RM150 juta di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan di bawah Dana Jaminan Makanan (DJM). Ini langkah pertama, di mana langkah ini adalah kita mengharapkan pengusaha-pengusaha pukat tunda Zon B ini dia boleh berpindah ke Zon C kerana Zon C ini biasanya pendapatannya lebih lumayan dan kerajaan akan membina pemodenan vessel ini melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). [Dato’ Sri Azalina Othman Said (Pengerang) mempengerusikan Mesyuarat] Kedua, iaitu program pembangunan kapasiti berterusan kepada pemilik dan krew vessel pukat tunda Zon B. Di mana kita dedahkan kepada mereka ini latihan dan kemahiran pertanian. Sekiranya mereka tidak berminat untuk berpindah ke Zon C kita dedahkan kepada mereka kemahiran pertanian termasuk perniagaan, pemasaran,
akuakultur, industri hiliran, ternakan dan juga tanaman. Semua ini akan memberi pulangan yang lebih lumayan kepada mereka. Seterusnya, kerajaan membuat pengawalan-pengawalan yang lain supaya para nelayan ini sentiasa berada di zon yang agak selesa walaupun mereka satu hari akan tidak dibenarkan beroperasi di Zon B. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan pertama.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan rancangan MAFI untuk meneruskan dasar soft landing yang dimulakan di bawah zaman Pakatan Harapan. Ini adalah sesuatu yang lebih berkemanusiaan kerana kita tahu bahawa kalau kita sekali gus tutup kawasan Zon B ia akan menyebabkan isu food security dan juga pendapatan nelayan yang terjejas. Jadi, soalan saya kepada MAFI adalah adakah kerajaan sanggup untuk memikirkan langkah-langkah lain? Contohnya adalah open session and close session supaya kita nampak bahawa masa PKP nelayan tidak keluar laut ikan kembung keluar berlimpah-limpah kerana ada close session. Maksudnya laut pulih semula dengan cepat sekali. Jadi, kalau kita ada open session, close session maka nelayan mungkin sustainable.
Soalan Yang Berhormat.
Soalan kedua adalah bolehkah MAFI melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat kerana kita tahu bahawa pencerobohan kepada Zon A pun serius tetapi APMM tidak berupaya dan macam tidak sanggup untuk melaksanakan penguatkuasaan dan kapasiti DOF untuk melaksanakan penguatkuasaan pun kurang kerana bot-bot yang lama. Jadi saya mohon supaya Menteri terangkan kepada rakyat di luar sana, terima kasih.
Terima kasih, kepada Yang Berhormat yang mengemukakan pandangan yang sangat bernas. Saya kira untuk sama- sama kita menjaga sumber ikan di dalam negara kita. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, selain daripada pendekatan yang saya sebut tadi ada juga pendekatan yang diambil untuk kita mengawal Zon B ini daripada pukat tunda beroperasi. Pukat tunda ini untuk maklum Dewan yang mulia ini bukan sahaja yang datang daripada masyarakat kita dan ada juga datang daripada rakyat luar negara ataupun pencerobohan kepada perairan negara. Dalam hal ini kerajaan mengambil pendekatan mewajibkan pemasangan alat sistem Automatic Identification System (AIS) pada semua vessel pukat tunda Zon B. Kita pasang ini dan kalau kita lihat pengawalan yang dibuat oleh pihak kerajaan sangat teliti di mana semua kapal yang belayar ataupun menangkap ikan beroperasi ini akan dapat dikesan dengan baik oleh pihak kerajaan. Langkah yang kedua iaitu kerajaan menggunakan, sistem kita melabuhkan tukun dan tukun untuk menghalang kapal-kapal Zon B ataupun pukat tunda ini daripada beroperasi. Di mana tukun yang baru iaitu tukun yang ada tangannya sekiranya terlekat di situ dan kapal ini boleh tenggelam. Maka tentunya pencerobohan ini akan dapat dikurangkan dalam negara kita. Terima kasih.
Yang Berhormat Jempol.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Berdasarkan kajian Jabatan Perikanan Malaysia, 60 peratus daripada hasil laut yang ditangkap menggunakan pukat tunda iaitu ikan baja dan juga spesies ikan yang bernilai komersial. Maknanya pukat tunda ini kecil, besar semua sapulah. Inilah bahaya pukat tunda. Seperti ikan merah, ikan kerisi, ikan gelama dan sebagainya, ia dibenarkan membiak bagi mendapatkan hasil lumayan kepada sumber yang tinggi.
Siakap, siakap.
Jadi, soalan saya mengapa kementerian perlu mengambil masa yang begitu lama untuk menamatkan sepenuhnya penggunaan bot tunda untuk Zon B hampir 10 tahun. Keduanya, apakah rasionalnya kementerian menetapkan sasaran 1,950 unit pukat tunda akan dibenarkan beroperasi menjelang tahun 2025? Mengapakah kita membenarkan ikan yang tidak digunakan ini menjadi baja ataupun MAFI tengah mengkaji sumber makanan lain selain daripada ikan ini dijadikan baja? Mohon jawapan Menteri.
Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat yang sangat peka dengan kita punya sumber ataupun tempat pembiakan ikan di dalam negara kita. Kerajaan mengambil masa kurang lebih 14 tahun dari tahun 2016 sehingga tahun 2030 ini, kurang lebih 14 tahun. Ini kerana semua kita maklum bahawa nelayan-nelayan kita ini, mereka tidak ada kemahiran yang lain terutamanya untuk bekerja di kawasan darat. Mereka dibesarkan dengan nelayan dan mereka sukar untuk berpindah daripada satu pekerjaan kepada pekerjaan yang lain. Oleh yang demikian itu, kerajaan terpaksa mengambil satu jarak yang agak lama dan alhamdulillah setakat ini apabila kita cadangkan kepada mereka ini pekerjaan- pekerjaan lain termasuk bercucuk tanam di bawah MAFI ini dan kita perkenalkan kaedah- kaedah yang lebih moden dan apabila mereka libatkan dengan pekerjaan ini ada pengaruh lain, ada kesan kepada masyarakat nelayan ini untuk mereka masuk ke bidang pertanian dan juga penternakan di kawasan darat. Oleh sebab itu, kita terpaksa mengambil satu langkah yang agak lama supaya tidak berlaku sebarang kejutan. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Tumpat.
Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Hulu Langat masa soalan nombor 4 tadi berpantun memperlikan PAS dan UMNO. Saya cuba bangun untuk jawab pantun tetapi tidak diberi peluang oleh Tuan Yang di-Pertua masa itu. Kalau Yang Berhormat Hulu Langat ada, saya hendak jawab pantun ini.
Yang Berhormat, ini soalan lisan.
Kalau tidak ada tidak apa, saya jawab lain kali.
Yang Berhormat boleh pesan kepada sesiapa yang hendak bahas mewakili PAS nanti lah.
9. Dato' Haji Che Abdullah bin Mat Nawi [Tumpat] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan langkah strategik jangka panjang bagi menghadapi peningkatan kes-kes gangguan kesihatan mental dalam menghadapi fasa pemulihan pasca pandemik.
Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa prihatin dan peka dengan keadaan yang boleh mendatangkan gangguan kesihatan mental guru dan murid akibat pandemik COVID-19. Dalam hal ini, KPM telah menyediakan beberapa langkah strategik untuk warga guru, bukan guru dan murid khususnya dalam perkhidmatan bantuan sokongan psikologi dan khidmat pencegahan, pembangunan, pemulihan serta intervensi. Perkhidmatan bantuan sokongan psikologi yang diberikan meliputi kaunseling individu, kaunseling kelompok dan sesi konsultasi oleh kaunselor pendidikan serta guru bimbingan dan kaunseling yang profesional di bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua institusi pendidikan KPM. Perkhidmatan ini dijalankan secara bersemuka dan dalam talian. Bagi meningkatkan kesihatan mental warga guru dan bukan guru, program 3A (aware, alert, action) ataupun sedar, peka dan
tindak dijalankan untuk memberi latihan mengurus emosi akibat pandemik secara dalam talian, Webinar dan eBook. Manakala bagi murid pula, Program Minda Sihat Dalam Kebiasaan Baharu tahun 2021 dijalankan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesejahteraan diri, mengenal pasti gejala awal yang memberi kesan kepada minda akibat pandemik yang berlaku dan meningkatkan kemahiran gaya daya tindak ataupun coping skill. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi warga KPM yang memerlukan intervensi selanjutnya, kaunselor pendidikan akan mencadangkan agar mereka mendapat lawatan perubatan di klinik kesihatan atau hospital. Bagi murid yang memerlukan intervensi yang selanjutnya pula, guru bimbingan dan kaunseling akan memberikan konsultasi kepada ibu bapa atau penjaga supaya membawa anak mereka mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan klinik ataupun dari hospital. Terima kasih.
Soalan tambahan pertama.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih jawapan daripada Timbalan Menteri tadi. Soalan saya seterusnya, peningkatan tahap keseriusan gangguan kesihatan mental kepada golongan murid tidak wajar dikesampingkan oleh KPM walaupun saya percaya gangguan kesihatan mental ini boleh jadi disebabkan oleh faktor luar daripada persekolahan. Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan saban tahun juga menjelaskan keseriusan kes-kes gangguan kesihatan mental kepada golongan murid. Oleh itu, saya ingin bertanya. Pertama, apakah kementerian bersedia untuk menambah baik Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi menyokong perkembangan kesihatan mental murid sebagai teras dalam dasar tersebut? Ini sesuai dengan rangka tindak yang lebih komprehensif seperti yang dilaksanakan di negara- negara luar seperti Ireland dan beberapa negara maju yang mempunyai kerangka intervensi sejak early childhood serta dasar well-being in primary schools, guidelines for mental health. Kedua, apakah langkah penekanan aspek kesihatan mental dalam tiga aspek kesihatan awam yang difokuskan di sekolah-sekolah? Ini kerana ketika ini kita lihat aspek kesihatan awam ini lebih tertumpu kepada kesihatan awam vaksinasi, pergigian dan alam sekitar. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tumpat. KPM sentiasa prihatin dan kita tidak sesekali memandang ringan tentang kesihatan mental. Jadi, untuk ke arah itu, sebenarnya kita telah menyusun banyak langkah dan termasuklah mengadakan Program Minda Sihat Dalam Kebiasaan Baharu tahun 2021 yang dilaksanakan selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, Kementerian Kesihatan Malaysia. Jadi ke arah tersebut, banyak sepertimana yang saya sebutkan tadi, strategi yang telah kita susun termasuklah yang pertama Promosi Minda Sihat. Jadi, di bawah strategi ini, kita telah melaksanakan dan mengambil banyak langkah untuk memastikan pelaksanaan strategi ini termasuklah melalui sebaran bahan psiko-pendidikan, infografik, video pendek dan sebagainya. Selain daripada itu juga, kita telah mengaturkan strategi kedua iaitu Saringan Minda Sihat dan juga telah kita menyusun aktiviti yang lain termasuklah Pembimbing Rakan Sebaya dan sebagainya untuk memastikan kesihatan mental murid sentiasa terpelihara. Terima kasih.
Soalan tambahan kedua, Yang Berhormat Teluk Intan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang budiman. Tuan Yang di-Pertua, setakat hari ini, hampir 30,000 nyawa telah pun terkorban akibat daripada pandemik COVID-19 dan lebih kurang 4,700 orang anak yatim piatu telah pun dikenal pasti oleh pihak kerajaan. Maka persoalan di sini, saya hendak tanya kepada pihak kerajaan.
Apakah langkah-langkah proaktif yang akan diambil oleh bukan sahaja Kementerian Pendidikan dan agensi kerajaan lain supaya memberi bimbingan dan membina upaya kepada anak-anak yatim piatu yang begitu memerlukan, mempunyai keperluan yang terdesak supaya mereka tidak tercicir daripada pelajaran dan diberikan peluang dan ruang untuk menjadi insan modal yang berguna dan boleh memberi sumbangan kepada masyarakat negara kita? Saya mohon jawapan daripada kementerian, terima kasih.
Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Teluk Intan. Saya rasa ini memang satu perkara yang sentiasa diambil berat oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Jadi ke arah itu, kita telah wujudkan Yayasan Didik Negara untuk memberikan bantuan bukan sahaja daripada segi financial tetapi juga kita telah aturkan Program Ziarah Cakna dan sebagainya untuk memastikan kesihatan dan pada waktu yang sama kebajikan murid-murid termasuklah anak yatim atau piatu juga sentiasa diberikan perhatian. Terima kasih.
Minta soalan tambahan lagi.
Soalan tambahan ketiga.
Soalan tambahan lagi boleh?
Tambahan.
Kulai.
Gopeng, Gopeng.
Saya tidak ada masa sebab saya hendak kena buat perbahasan.
Ini soalan penting.
Gangguan seksual. Hendak tanya sikit.
Tidak apalah. Yang Berhormat Puan Alice Lau Kiong Yieng.
10. Puan Alice Lau Kiong Yieng [Lanang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan statistik kes keganasan domestik dan kes penceraian yang dilaporkan di Sarawak sepanjang tempoh PKP dan apakah tindakan atau sokongan kementerian dalam membantu dan menyelamatkan mangsa.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat di atas soalan yang dikemukakan. Daripada statistik yang melalui talian kasih 1599, sebanyak 31 aduan telah diterima berkaitan dengan keganasan rumah tangga dari tahun 2020 hingga September 2021 bagi negeri Sarawak. Manakala statistik Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan sebanyak 1,017 kes yang telah dilaporkan dari tahun 2020 hingga Julai 2021 di Sarawak. Isu yang berkaitan dengan kes penceraian pula berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kehakiman Syariah dan setakat ini kita mendapati kes daripada JKSM menunjukkan sebanyak 3,582 kes penceraian pasangan Islam di Sarawak yang telah difailkan. Manakala, pasangan bukan Islam pula di bawah Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Pendaftaran Negara berjumlah 2,076 kes penceraian di Sarawak. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengadakan pelbagai inisiatif dan tindakan bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga dan tindakan ini bersepadu dengan pelbagai kementerian dan agensi. Di antaranya ialah Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga untuk memastikan keberkesanan gerak kerja pengendalian kes keganasan rumah tangga,
mewujudkan pusat transit sementara di masjid, mengadakan Pusat Sokongan Sosio Setempat (PSSS) yang bergerak dan juga statik dan mengadakan tempat selamat rumah perlindungan untuk mudah diakses oleh mangsa. Setakat ini, terdapat lima tempat selamat yang diwartakan di negeri Sarawak daripada 39 semua tempat selamat di seluruh negara. JKM sentiasa menguatkuasakan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 di mana untuk memudahkan supaya dapat diakses terus oleh mangsa keganasan dan kerjasama juga kita buat melalui one stop crisis centre (OSCC) melalui Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan yang ada 135 buah untuk memudahkan mangsa mendapatkan pertolongan. Begitu juga kita mewujudkan pasukan perlindungan kanak-kanak (PPKK) yang mana untuk membantu mangsa yang melibatkan kanak-kanak. Di samping itu kita mewujudkan Skuad Waja yang kita setakat ini bilangannya sudah mencapai hampir 90,000 yang mana Skuad Waja ini adalah sukarelawan wanita antijenayah untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam keganasan rumah tangga. Di samping itu kita ada pelbagai program pendidikan melalui LPPKN dan Akademi Keluarga Sejahtera untuk menerapkan nilai-nilai kekeluargaan dalam membina keluarga yang sejahtera. Kita juga mengadakan talian kaunseling khas iaitu toll free helpline FamilyCare melalui LPPKN iaitu dengan talian 1-800-82-0300. Talian ini adalah untuk memudahkan bagi mereka yang memerlukan bimbingan kaunseling bagi menghadapi masalah kekeluargaan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Apakah punca peningkatan kes keganasan dan apakah peranan kementerian untuk mempermudahkan proses penceraian di mana tempoh kaunseling yang agak panjang dan juga bagi golongan miskin yang memerlukan bantuan Jabatan Bantuan Guaman serta sama ada kementerian memberi bantuan kewangan atau bantuan lain jika alimoni atau nafkah tidak dibayar kepada bekas isteri selepas bercerai. Minta penjelasan.
Terima kasih Yang Berhormat. Di antara masalah ataupun punca yang kita kenal pasti yang menyebabkan berlakunya penceraian adalah kadang-kadang punca itu remeh-temeh. Antaranya perselisihan faham dan ada juga daripada punca adalah penagihan dadah. Masalah kewangan juga salah satu punca, sikap panas baran dan juga yang tertekan perasaan. Ini antara punca-punca yang banyak dikenal pasti sebagai punca berlakunya penceraian. Bagi mereka yang memerlukan bantuan, terutama bagi keluarga yang layak ataupun ibu-ibu tunggal yang memerlukan bantuan, kanak-kanak dan sebagainya boleh terus berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan saya mengalu-alukan semua pimpinan Ahli-ahli Parlimen di sini juga sekiranya ada isu-isu sebegini, sila laporkan kepada JKM bagi mereka yang layak untuk kita memberi bantuan yang sesuai, terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sering kali ibu tunggal yang telah bercerai mengalami masalah mendapat nafkah daripada suami yang telah diperintahkan oleh mahkamah. Jadi, soalan saya adakah kerajaan mempunyai apa-apa perancangan untuk memudahkan ibu-ibu tunggal ini untuk mendapatkan nafkah daripada bekas suami mereka?
Terima kasih. Sebagaimana yang saya sebut tadi, bidang kuasa yang berkaitan dengan isu penceraian bagi pasangan Islam di bawah Jabatan Kehakiman Syariah ataupun Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan begitu juga dengan bukan Islam di bawah Mahkamah Persekutuan dan ini di luar bidang kuasa kami. Apa pun, bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, kita sedia membantu ibu-ibu yang teraniaya sebegini, ibu tunggal atau kanak- kanak yang teraniaya ini untuk mendapat bantuan yang sesuai di bawah JKM.
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan daripada pihak kerajaan satu.
Tidak apa lah, saya pergi ke soalan 11. Yang Berhormat Tanjong Manis.
11. Tuan Haji Yusuf bin Abd Wahab [Tanjong Manis] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah terdapat peruntukan untuk mendalamkan (dredging) alur muara Batang Rajang di Tanjong Manis. Untuk makluman, terdapat banyak beting pasir terbentuk di muara Batang Rajang yang berbahaya kepada pelayaran.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Haji Yusuf bin Abd Wahab. Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 2010, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Laut Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia telah melaksanakan satu kajian bertajuk, “The Coastal Hydraulic and Sedimentation Study for the Assessment of Dredging Requirement for Ports and River Mouths in Malaysia" yang melibatkan beberapa buah sungai di Sarawak. Antaranya ialah Sungai Sarawak, Batang Rajang dan Batang Baram. Mengikut Laporan Survey Hidrografi Chart Datum (CD) di kawasan muara Batang Rajang adalah 4.1 meter dan ditambah dengan mean low water spring bagi kawasan Kuala Rajang adalah 1.5 meter. Controlling depth atau kedalaman minimum adalah kedalaman yang paling rendah di dalam kawasan alur laluan kapal. Controlling depth pada kawasan muara Batang Rajang adalah 5.6 meter, manakala controlling drought pada muara Batang Rajang adalah 8.6 meter. Berdasarkan situasi semasa, kapal yang mempunyai drought melebihi controlling depth iaitu kedalaman 5.63 meter perlu menunggu sehingga air pasang penuh iaitu ke dalam 8.6 meter bagi melayari alur muara Batang Rajang. Kawasan alur Batang Rajang yang dikenal pasti sebagai kawasan cetek adalah Batang Beting Bohari iaitu kira-kira enam batu nautika daripada baseline di luar kawasan muara sungai. Pelabuhan Tanjong Manis yang terletak 30 kilometer dari muara sungai mempunyai kedalaman wap pada 11 meter. Oleh yang demikian terdapat keperluan untuk melaksanakan kerja-kerja pengerukan alur pelayaran bagi kapal-kapal yang lebih besar untuk menggunakan pelabuhan Tanjong Manis. Dalam hubungan ini, Kementerian Pengangkutan Sarawak melalui Bahagian Pengangkutan Laut dan Sungai dan Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Jabatan Laut Malaysia perlu mengadakan perbincangan lanjut sekiranya berhasrat untuk kemasan pengerukan ini semasa rolling plan keempat, Rancangan Malaysia ke-12. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas jawapan yang menggembirakan kami di Tanjong Manis. Saya sangat mengalu-alukan jawapan tersebut. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Timbalan Menteri, pelabuhan Tanjong Manis digunakan oleh syarikat-syarikat kelapa sawit di kawasan tengah Sarawak dan juga di Kalimantan Indonesia untuk mengeksport bahan- bahan hasil sawit ke pelabuhan lain atau ke luar negara. Satu ketika dahulu, pernah satu kapal kontena yang membuat transshipment kontena di pelabuhan Tanjong Manis. Akan tetapi disebabkan kecetekan muara sungai, tiada lagi persinggahan transshipment kontena di pelabuhan tersebut.
Jadi, jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri bagi tadi adalah satu berita menarik, berita bagus. Jadi, soalan tambahan saya, selain kerja-kerja pengerukan, keperluan-keperluan lain yang diperlukan adalah alat-alat bantuan pelayaran seperti boya ataupun lighthouse dengan izin demi memastikan keselamatan pelayaran kapal ataupun bot. Bolehkah pihak kementerian membekalkan, memasang atau menaik taraf alat-alat bantuan pelayaran yang sedia ada di Pelabuhan Tanjong Manis? Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Ya, terima kasih di atas soalan tambahan tersebut. Tentulah perlu bagi keselamatan. Jadi, pihak kementerian mengambil maklum akan kepentingan alat-alat bantuan pelayaran untuk keselamatan pelayaran kapal atau bot di
Pelabuhan Tanjong Manis. Kementerian akan meneliti perkara tersebut untuk tindakan selanjutnya. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan kedua, ada? Tidak ada, okey. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu-waktu pertanyaan bagi jawapan lisan pada hari ini. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat. Usul oleh Yang Berhormat Menteri. [Sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Usul — Waktu Mesyuarat Dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan MesyuaratMotion
Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga jam 6.30 petang dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Rabu, 10 November 2021”.
Tuan Yang di- Pertua, saya mohon menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah bahawa usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Rang Undang-Undang Dibawa Ke Dalam Mesyuarat — RANG UNDANG-UNDANG KEWANGAN 2021 Bacaan Kali Yang PertamaBill
Rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018; dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Timbalan Menteri Kewangan I [Tuan Mohd Shahar bin Abdullah]; dibaca kali yang pertama; akan dibaca kali yang kedua pada Mesyuarat ini.
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 Bacaan Kali Yang Kedua DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022Bill
Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah, “Bahawa Rang Undang-undang Perbekalan 2022 ini dibacakan kali yang kedua sekarang” dan “Bahawa Usul yang berikut ini dirujuk kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis”. “Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari tujuh puluh tujuh bilion dan enam ratus juta ringgit (RM77,600,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2022, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2022, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 32 Tahun 2021, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut.” [8 November 2021]
Sekarang perbahasan ya. Minta Yang Berhormat dalam Dewan ini, Yang Berhormat Kinabatangan sambung perbahasan, 13 minit.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Selepas ini Yang Berhormat Kubang Pasu ya. Silakan.
Saya ingin turut membahas bajet RMKe-12 pada tahun 2022 dan bajet yang telah dibentangkan banyak memperlihatkan satu pembaharuan ke arah pendekatan untuk memastikan bahawa pembangunan wilayah yang seimbang diberi keutamaan. Dalam konteks Sabah, saya berbesar hati dengan apa yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan bahawa Sabah juga tidak akan dipinggirkan dalam unjuran arus pembangunan secara menyeluruh. Cuma bagi sebahagian masyarakat di Sabah, saya amat terpanggil untuk meminta Kerajaan Persekutuan pada masa-masa akan datang untuk mengkaji agihan peruntukan ini mengikut Perjanjian Malaysia, Pembentukan Malaysia itu iaitu sebahagian daripada bajet untuk Sabah dan Sarawak harus dilihat secara lebih saksama. Kalau tidak, Sabah ini Tuan Yang di-Pertua, saya pernah menyatakan iaitu sebuah negeri yang di antaranya termiskin. Baru-baru ini waktu lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya telah menyatakan bahawa kami ingin, Sabah ingin meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengeluarkan negeri Sabah daripada belenggu rantaian kemiskinan secara berterusan sebab kemiskinan di Sabah ini sejak umur saya 10 tahun saya sudah
dengar bahawa Sabah ini negeri termiskin. Saya pun tertanya-tanya kenapa jadi begini? Apa yang menyebabkan rakyat Sabah, negeri Sabah ini makin hari makin miskin? Jadi bajet yang dibentangkan ini kalau saya melihat bahawa untuk bajet pembangunan, kalau boleh saya meminta untuk rekodkan bagilah Sabah 10 peratus daripada keseluruhan bajet yang dibentangkan. Yang lalu pun RM5 bilion, tahun depan pun RM5 bilion dan pelaksanaannya amat perlahan. Jadi, ini perkara yang amat membimbangkan rakyat Sabah. Justeru itu kita meminta supaya kerajaan melihat secara terperinci iaitu membangun antara Wilayah Semenanjung, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak. Sabah dan Sarawak ini apabila kita gabungkan petanya, tenggelam jajaran keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu ini. Bayangkan bagaimana keluasannya begitu besar tetapi peruntukannya hampir sama dengan negeri-negeri yang lain. Demikian juga dengan peruntukan wakil-wakil rakyat. Di Perlis pun sama, Melaka pun sama, di Wilayah Persekutuan pun sama, Kinabatangan pun sama. Lenggong lain sikit, dia mungkin lebih besar peruntukannya daripada Parlimen yang lain. [Ketawa] Jadi ini yang melibatkan kita ada kerisauan. Seharusnya peruntukan wakil rakyat itu dinilai daripada keluasan dan keperluan mengikut kawasan. Saya juga telah meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar supaya menyimpan data-data bank untuk maklumat setiap Parlimen. Apa peruntukan, apa projek yang telah dilaksanakan, yang sedang berjalan dan apa yang diperlukan? Akan tetapi sampai hari ini saya tidak nampak ia dilaksanakan, dibuat secara berterusan oleh kementerian. Ini amat membimbangkan saya sebab perkara ini sebetulnya Tuan Yang di- Pertua, kita ini merdeka sudah lebih kurang 61 tahun tetapi kita punya pendekatan, kita punya sistem, kita punya penyampaian masih di tahap yang saya pun tidak tahulah, tidak ada perubahan. Jadi kalau tidak ada perubahan, akhirnya negara kita ini akan berhadapan dengan risiko-risiko yang berkemungkinan yang negatif. Seharusnya kita sudah mempelajari daripada awal, kita tahu bagaimana untuk mengurus negeri-negeri di Malaysia ini, bagaimana keperluannya, bagaimana masalah yang dihadapi. Jadi perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu dilaksanakan secara lebih kerap, lebih detail. Kalau boleh saya sudah minta dulu mohonlah peruntukan untuk Sabah ini, berikan kami kewangan itu biar negeri Sabah melaksanakan dan kita akan lapor apa juga pelaksanaannya kepada Kerajaan Persekutuan. Akan tetapi kalau kita diberi peruntukan tetapi diurus juga oleh Persekutuan, akhirnya Sabah ini Tuan Yang di-Pertua memang saya tidak nampak akan menjadi sebuah negeri yang maju dan makmur seperti Selangor, Pulau Pinang dan sebagainya. Sedangkan Sabah ini berpotensi untuk dibangunkan sekiranya kita betul-betul inginkan pembangunan.
Demikian juga dengan bantuan-bantuan secara one-off ataupun kepada B40, mereka yang tidak berkemampuan. Saya melihat apabila kerajaan Barisan Nasional kalah, semua sistem diubah. Sistem ubah tidak apa, kalau daripada negatif kepada positif itu saya setuju. Akan tetapi yang malangnya perubahan itu daripada positif kepada lebih negatif. Negara kita mengalami kerugian dan hampir-hampir menanggung hutang berbilion-bilion disebabkan kelalaian kerajaan mengurus ekonomi dan mengurus pelabur- pelabur yang ingin datang ke negara kita. Ini juga satu masalah. Dahulu pada waktu Barisan Nasional, perumahan- perumahan untuk orang miskin di Parlimen-parlimen adalah satu Parlimen sampai 150 buah rumah tetapi apabila kerajaan bertukar, sudah menjadi kosong, sifar, tidak ada. Selepas kerajaan berganti, dapatlah 15 buah rumah pula satu Parlimen. Ada 15 buah rumah, yang memohon empat, lima ribu orang. Macam mana mahu mengagihkannya Tuan Yang di-Pertua? Ini saya kata bagus lagi tidak ada daripada agihan-agihan yang sebegini.
Jadi seharusnya kerajaan melihat, bagaimana merancang– kita punya janji ini macam-macam, memberi rumah kepada orang yang tidak mampu, memberi rumah kepada orang yang boleh memiliki rumah mampu milik tetapi semua ini retorik sahaja semata-mata. Tidak ada yang menjadi realiti, tidak ada yang menjadi orang kata boleh dibanggakan oleh rakyat. Oleh sebab itu saya kata kerajaan ini perlu stabil. Apabila kerajaan stabil, ekonomi makmur, rakyat pun turut mendapat limpahan ekonomi yang makmur itu. Ya, kestabilan demi kemakmuran. Akan tetapi apabila tidak ada kestabilan, makmurnya pun tidak ada sudah. Jadi, oleh sebab itu rakyat harus melihat perkara ini secara lebih bijaksana, secara positif, untuk memastikan bahawa mana-mana kerajaan pun kalau tidak stabil, kalau ada perang di Filipina dahulu, di Thailand...
Yang Berhormat Kinabatangan.
...Tidak ada akan orang datang melabur.
Yang Berhormat Kinabatangan.
Yang Berhormat Kinabatangan. Saya ucap dulu.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Kinabatangan.
Yang Berhormat Kinabatangan bagi kah, Yang Berhormat Taiping kah, Yang Berhormat Shah Alam kah macam mana?
Okey, Yang Berhormat Lenggong dahulu baru Yang Berhormat Shah Alam.
Taiping?
Yang Berhormat Kinabatangan, saya tertarik tadi dengan cadangan Yang Berhormat Kinabatangan supaya daripada segi peruntukan wakil rakyat, Sabah dan Sarawak diberikan lebih. Saya setuju. Setuju kah Yang Berhormat Kinabatangan sampai masanya kementerian mengubah sedikit. Kalau sebelum ini perancangan pembangunan banyak daripada jabatan, agensi kerajaan, apakah Yang Berhormat Kinabatangan setuju kalau kali ini kerajaan beri peluang wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing menentukan projek apa. Wakil rakyat ini dekat dengan rakyat. Dia tahu apa rakyat susah, dia tahu apa rakyat perlukan. Beri peluang kepada wakil rakyat di Sabah, di Sarawak menentukan projek pembangunan, rumah, bekalan air, bekalan elektrik dan kerajaan pertimbangkan berasaskan kepada cadangan daripada wakil-wakil rakyat. Apakah pandangan Yang Berhormat Kinabatangan?
Setuju.
Yang Berhormat Lenggong ini memang bijaksana. Dia boleh melihat perkara ini secara saksama. Itu yang kita mahu. Sebab yang tahu, yang turun padang ini wakil rakyat, bukan kakitangan kerajaan. Kita nampak apa masalah rakyat kita di kawasan dan sebagainya. Jadi ini penting, saya setuju Yang Berhormat Lenggong. Ya Yang Berhormat Shah Alam mungkin setuju juga.
Yang Berhormat Pengerang setuju juga. Silakan Yang Berhormat Shah Alam.
Ya, baik. Terima kasih. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Kinabatangan atas keinsafan yang dizahirkannya kerana menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan dan menghasilkan suasana politik yang tidak stabil kerana Kerajaan Perikatan Nasional mempunyai majoriti yang begitu tipis sehingga berlakunya pertukaran kerajaan hanya selepas setahun kemudian.
Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh golongan- golongan yang telah lompat dan menjatuhkan Kerajaan PH yang dahulu ada majoriti yang besar tetapi apabila berlakunya pengkhianatan, maka ketidakstabilan politik terhasil untuk negara Malaysia hingga sekarang. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Kinabatangan kerana ini adalah merupakan sebab utama mengapa ekonomi negara merudum sehingga hari ini.
Okey.
Minta maaflah kepada dunia dan minta maaflah kepada rakyat ke atas tindakan khianat yang telah dilakukan...
Terima kasih.
...dan penyokong-penyokong pengkhianat yang telah dilakukan.
Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam.
Terima kasih.
Biar saya jawab. [Ketawa]
Biar dia jawab Yang Berhormat Shah Alam.
Saya akan jawab balik. Lepas ini saya pula.
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Yang Berhormat Shah Alam mungkin Yang Berhormat Shah Alam boleh recall lagi hujah saya. Kita sama. Saya tidak suka orang lompat-lompat. Waktu orang lompat-lompat di Sabah, I am the last man standing yang tidak lompat. [Tepuk] Jadi, oleh sebab mungkin kerajaan yang lompat-lompat itu, maka Yang Berhormat Shah Alam pun dalam sana, Yang Berhormat Shah Alam pun gugur juga sebab dia harapan tinggal harapan. Tidak ada harapan, tidak berhala tuju.
Okey, kalau...
Oleh sebab itu kita mahu mengadakan pilihan raya, jangan ada lompat-lompat. Ahli Parlimen Pengerang pun sedang merangka satu usul iaitu akta antilompat parti. Saya memang sokong. Saya berharap Yang Berhormat Shah Alam pun sokong.
Ya, pasti saya sokong. Akan tetapi kalau tidak suka yang lompat, jangan sokong mereka.
Kita tidak mahu lompat- lompat. Kalau kita menang, menanglah. Kalau kalah, kalahlah. Apa mahu takut. Lawan saja, lawan lah. Betul kah tidak?
Ya, setuju, setuju.
Jadi, saya harap kita semua di dalam Dewan ini menyokong akta yang dibawa oleh Yang Berhormat Pengerang untuk kita memastikan politik kita stabil, kita gentleman. Kalah, kalahlah, sebab kalah mungkin ada masalah. Rakyat tidak suka. Jadi kita pastikan negara kita ini, kerajaan kita stabil demi kemakmuran untuk memastikan rakyat pun hidup dalam tenteram, boleh berniaga, peniaga-peniaga kecil boleh membuka gerai dan sebagainya. Tuan Yang di-Pertua, masa sudah habis, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan kerana menyebut Yang Berhormat Pengerang banyak kali. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Kubang Pasu, 13 minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas kesempatan yang diberikan untuk saya berbahas di peringkat dasar Bajet 2022. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Membaca sepotong doa] Bajet 2022 yang diumumkan tempoh hari memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM311 bilion iaitu RM233.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM77.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Bajet dengan defisit sebanyak RM97.5 bilion dan ini bermakna negara terpaksa berhutang sebanyak itu. Dengan jumlah hutang RM958.4 bilion pada tahun ini, dicampur RM97.5 bilion untuk tahun hadapan. Ini bermakna jumlah hutang negara sebanyak RM1.06 trilion bersamaan dengan 64.5 peratus KDNK anggaran tahun 2022 dengan jangkaan pertumbuhan antara 5.5 peratus ke 6.5 peratus yang saya kira sedikit optimistik. Jumlah ini sekiranya dicampur dengan komitmen jaminan kerajaan sebanyak RM190.4 bilion, 1MDB yang Yang Berhormat Jerlun buat penjenamaan semula kepada 1NTR sebanyak RM32 bilion, liabiliti lain, PPP, PFI, PBLT sebanyak RM152.9 bilion. Ini bermakna hutang negara sebenarnya telah mencecah RM1.431 trilion atau 87.4 peratus daripada KDNK. Apakah makna di sebalik semua ini? Kita tidak boleh lagi mendedahkan negara kepada jaminan-jaminan hutang baru oleh kerajaan kepada hutang yang dibuat oleh GLC ataupun GLIC yang kemudiannya apabila mereka gagal untuk membayarnya, ia akan menjadi hutang kerajaan sepertimana yang berlaku dalam kes 1MDB.
Yang Berhormat.
Bayaran khidmat hutang...
Sedikit saja Yang Berhormat.
Saya tidak banyak masa Yang Berhormat Jelutong. Sikit please.
Saya hendak tanya penjelasan Yang Berhormat berkenaan 1NTR itu di mana kerajaan masih lagi membayar hutang akibat 1NTR tetapi individu yang berkenaan masih lagi sibuk berkempen di Melaka. Apakah mesej yang kita ingin hantar kepada pengundi-pengundi Melaka? Bolehkah kita mempercayai seorang yang masih lagi dituduh yang digelar perompak, penyamun, pencuri yang masih lagi giat berkempen di Melaka? Apakah mesej yang boleh disampaikan oleh Yang Berhormat di kala ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jelutong. Mesej yang kita hendak sampaikan, mereka yang telah dituduh kemudian didapati bersalah haruslah berperangai dan bersikap sepertimana orang yang bersalah. Jadi, kalau dia menyokong mana-mana calon di sana...
Kalau hendak curi, curi banyak- banyak. Mesej yang ingin disampaikan...
...Saya ingat kita hendak kena bagi signal yang jelas terhadap perkara itu.
Mesej yang hendak disampaikan, Yang Berhormat Kubang Pasu, ialah kalau hendak rompak, rompak banyak-banyak.
[Ketawa] Itu jangan masuk sebahagian daripada ucapan saya.
Bayaran khidmat hutang negara sekarang ialah 18 sen dari setiap RM1 cukai yang dikutip. Apakah ia akan meningkat menjadi 20 sen selepas ini? Itu pun 20 sen daripada setiap ringgit itu hanya untuk membayar faedah, bukan prinsipalnya lagi. Ketua Audit Negara mendedahkan pada tahun lalu, 50.4 peratus daripada pinjaman baharu kerajaan sebanyak RM98.1 bilion digunakan untuk bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang. Jelas menunjukkan kebergantungan kerajaan terhadap pinjaman baharu untuk bayaran balik prinsipal pinjaman yang sudah matang. Syor yang dibuat oleh Ketua Audit Negara ialah mempertingkatkan disiplin perbelanjaan mengurus. Tidak perlulah buat renovation pejabat apabila menteri bertukar portfolio. Tangguhlah penukaran kereta rasmi menteri. Kurangkanlah bilangan Kabinet termasuk lantikan penasihat bertaraf menteri. Kurangkan kontrak pemberian terus yang jelas tidak memberikan value for money kerja yang dilaksanakan sehingga Kementerian Kewangan masih tidak menjawab apabila ditanya berapa banyak dan nilai direct nego contract ini. Memperkasakan usaha penjanaan hasil dan pemantauan terhadap komitmen bayaran balik pinjaman agar lebihan hasil dapat dipertingkatkan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu. Saya ingin bertanya, bilakah kerajaan akan melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal? Diumumkan dalam Bajet 2019 tetapi sehingga kini ia masih belum dibentangkan. Saya ingin menyentuh beberapa isu khususnya berkait dengan penubuhan GLC baharu iaitu Digital Nasional Berhad, isu penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia serta isu yang dekat di hati pesawah padi dalam kawasan saya di Kubang Pasu dan Anak Bukit. Tuan Yang di-Pertua, izin saya bangkitkan syarikat baharu milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan iaitu Digital Nasional Berhad. Kekurangan ketelusan berhubung penubuhan, pendanaan dan kaedah pengurusan syarikat ini yang mana ia mendapat sokongan kewangan melalui bon yang dijamin kerajaan melalui MOF adalah amat membimbangkan kerana ia berpotensi menjadi 1MDB 2.0. Adakah kerajaan mahu mengulangi kesilapan yang sama? Dakwaan kerajaan bahawa DNB sebagai pengurus tunggal dan pembekal utama rangkaian 5G bakal menawarkan harga yang lebih murah dan kelajuan yang lebih baik adalah satu kenyataan yang tidak tepat. Negara seperti Kenya, Rusia dan Afrika Selatan tidak mengamalkan polisi Single Wholesale Network. Manakala Belarus, Mexico dan Rwanda mencatatkan kerugian yang besar hasil pelaksanaan polisi seumpama ini.
Yang Berhormat Kubang Pasu.
Tanpa wujudnya...
Lembah Pantai.
Ya, Yang Berhormat Lembah Pantai.
Ringkas sahaja. Terima kasih Yang Berhormat Kubang Pasu. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Kubang Pasu. Adakah Yang Berhormat Kubang Pasu bersetuju sekiranya isu pelaksanaan 5G ini oleh sebuah syarikat DNB yang dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan, adakah perkara itu perlu dibawa, dibahas dan diputuskan di Parlimen ini sebelum ia dilaksanakan? Apa pandangan Yang Berhormat?
Saya sangat setuju kerana ia memberikan suatu ketelusan. Projek yang seumpama ini yang sebenarnya, kalau saya sambung sedikit ucapan saya, hendak tunjukkan kita berpotensi untuk mendapat hasil upfront tanpa perlu menambah atau membuat pendanaan yang kita pinjam dari luar.
Akan tetapi, akhirnya kita membuat keputusan yang sedemikian yang mungkin kalau dibuat secara baik dan the market is with us, ia mungkin memberikan sedikit keuntungan tetapi dalam keadaan negara yang sudah terdedah kepada hutang yang cukup besar ini, saya rasa that’s not the road that we should take, dengan izin. Tanpa wujudnya bidaan rangkaian spektrum 5G, kerajaan dijangka kehilangan potensi hasil upfront sekurang-kurangnya RM12 bilion tanpa perlu sebarang pelaburan atau suntikan modal. Penjualan spektrum 5G kepada syarikat telekomunikasi swasta telah memberikan keuntungan kepada Kerajaan Thailand sebanyak RM12 bilion, Jerman sebanyak RM36.8 bilion dan Korea sebanyak RM25.3 bilion. Tuan Yang di-Pertua, kewujudan DNB ini juga bakal meletakkan risiko kerugian nilai kepada syarikat telekomunikasi dalam negara kita yang telah sedia ada memiliki infrastruktur dan spektrum yang menjadi aset utama mereka. Malah Kerajaan Malaysia juga mempunyai pemilikan saham strategik dalam sebahagian daripada syarikat-syarikat ini seperti Axiata, Celcom, Telekom dan sebagainya. Lantaran, apakah kewajaran untuk menubuhkan satu lagi syarikat baharu dalam industri yang sama dengan pendanaan wang pembayar cukai dan kerajaan? Bukankah ini hampir menyamai modus operandi 1MDB dahulu sehingga merugikan kerajaan dan rakyat Malaysia? Kebimbangan ini bertambah apabila Fitch telah menurunkan kadar penarafan sektor telekomunikasi Malaysia pasca pengumuman perancangan 5G dengan menyebutkan atas alasan kurang ketelusan dan kurang penglibatan sektor swasta. Dalam suasana negara yang sedang bergelut dengan proses pemulihan pasca COVID-19, tidak seharusnya perancangan berisiko sebegini dilaksanakan. Oleh yang demikian, perancangan penubuhan DNB ini perlu ditangguhkan atau sebaiknya dibatalkan dengan membuka ruang jualan spektrum 5G kepada syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada di Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin merujuk kepada peruntukan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19. Usaha kerajaan untuk menjaga masa depan anak ini sebagai satu keluarga besar Malaysia adalah satu usaha murni. Namun, pendekatan terbaik adalah untuk anak-anak ini dipelihara oleh keluarga terdekat dan bukan dihantar ke institusi kanak-kanak atau rumah anak yatim. Anak-anak ini juga ada yang masih kecil dan sedang meningkat dewasa, perlu dibesarkan di dalam institusi keluarga yang boleh mengambil alih peranan ibu bapa mereka yang telah tiada untuk memastikan mereka mendapat kasih sayang dan pendidikan formal dan tidak formal yang baik agar mereka dapat membesar menjadi rakyat bertanggungjawab dan berjaya dalam hidup mereka dunia akhirat. Menjadi kegusaran saya, Tuan Yang di-Pertua, adalah mekanisme penyaluran bantuan kepada anak-anak ini yang dikhususkan melalui Yayasan Keluarga Malaysia. Sebuah yayasan baharu akan ditubuhkan. Sebagaimana kita sedia maklum, pihak kerajaan telah menubuhkan pelbagai yayasan hampir di semua kementerian untuk mengendalikan tabung-tabung amanah seumpama ini. Tabung-tabung ini biasanya ditadbir urus oleh yayasan yang meletakkan Yang Berhormat Menteri sebagai pengerusi atau pengasas dan mendapat peruntukan daripada pihak kerajaan untuk menanggung kos operasi dan program yang hendak dijalankan. Malangnya, telah banyak berlaku penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan dalam tadbir urus tabung ini. Yayasan sering kali menjadi dompet kepada pengerusi yayasan untuk turun padang menyampaikan bantuan yang lebih cenderung untuk memenuhi kepentingan parti politik pemerintah. Yayasan Kebajikan Negara, umpamanya, telah menjadi vehicle atau pun alat politik kepada ahli politik tertentu yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk gerak kerja politik beliau.
Sewajarnya ahli lembaga pemegang amanah yayasan yang ditubuhkan oleh kerajaan perlu dianggotai oleh wakil dari Kementerian Kewangan sebagai ex-officio bagi memastikan tatacara pengurusan kewangan berpandukan tatacara pengurusan kewangan kerajaan. Namun, dalam pentadbiran kerajaan sekarang, keanggotaan wakil Kementerian Kewangan telah ditiadakan sepertimana yang berlaku dalam Yayasan Kebajikan Negara dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Baru-baru ini Parti Pejuang Tanah Air telah menggesa pihak kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat dakwaan salah laku pengurusan AIM yang telah jauh tersasar daripada matlamat asas penubuhannya sebagai institusi mikro kredit untuk memperkasa sosioekonomi isi rumah berpendapatan rendah. Ia seputar isu urusan lantikan pengurusan tertinggi dan pengurusan AIM yang tidak telus, lantikan ahli lembaga pemegang amanah yang dikatakan mengikut selera kumpulan tertentu serta gagal menentukan hala tuju sebenar AIM, salah laku dan konflik kepentingan dalam pengurusan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad, perbelanjaan boros dan pelaburan yang merugikan. Sehingga kini kami masih belum mendapat sebarang respons daripada pihak kerajaan. Penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai sebuah lagi agensi baharu dengan peruntukan RM25 juta tentunya akan melibatkan pembukaan pejabat baharu, kos renovasi pejabat dan emolumen kakitangan baharu yang akan diambil daripada peruntukan ini. Kos operasi seperti ini akan menjadi kos berulang setiap tahun. Ini bermakna kerajaan telah membesarkan tanggungan kos penggajian kakitangan selain menanggung kos kakitangan penjawat awam sedia ada. Saya percaya hasrat yang ingin dicapai oleh YKM boleh dilaksanakan dengan lebih cekap melalui penyaluran dana melalui yayasan atau NGO sedia ada yang mempunyai rekod urus tadbir yang teratur dan baik serta kepakaran dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Pihak kerajaan seharusnya berusaha mengurangkan kos pengurusan, agar lebih cekap dan amanah dalam urus tadbir negara. Tuan Yang di-Pertua, memandangkan terlalu banyak ketirisan dan salah guna kuasa dalam urus tadbir badan dan tabung kebajikan dari dana awam dan kutipan orang ramai, saya ingin mengusulkan supaya sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi mengawal selia perjalanan dan urus tadbir pertubuhan dan yayasan bersifat kebajikan yang terlibat dalam pengurusan dana awam. Perkara ini telah diamalkan di negara lain, contohnya di United Kingdom diwujudkan Charity Commission dan di Singapura terdapat National Council of Social Service yang berperanan sebagai badan kawal selia kepada badan kebajikan ini. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya berkenaan golongan pesawah yang berada dalam negara kita ini. Isu benih padi sah masih membelenggu petani kita.
Yang Berhormat, lagi dua minit boleh?
Ya, boleh, insya- Allah saya cuba. Isu benih padi sah masih membelenggu petani kita Tuan Yang di-Pertua. Tiada atau tidak cukup bekalan bila diperlukan dan kualiti benih sentiasa dipertikaikan. Hal ini sering kali dibangkitkan tetapi masih lagi tiada penyelesaian tuntas oleh kerajaan. Baru-baru ini ketika the preferred benih padi iaitu MR297 diperlukan untuk penanaman padi dengan kadar segera, benih tiada di pasaran atau hanya boleh dibeli dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga biasa iaitu daripada RM35- satu buah beg menjadi RM37 hingga RM42 sebuah beg. Sebaliknya benih padi 219 yang ditawarkan, padahal varieti ini telah diumumkan oleh MARDI pada 15 Oktober 2021, telah ditamatkan penjualan benihnya dan mengesyorkan untuk menggunakan antaranya ialah benih 297.
Setelah beberapa minggu berlalu, sekarang ini berlaku pula lambakan MR297 di pasaran. Rupa-rupanya ia taktik untuk menghabiskan stok benih 219 yang telah rentan kepada penyakit karah daun dan karah tangkai. Kerajaan harus tegas mengambil tindakan untuk memastikan ini tidak berulang, termasuk tatacara pengagihan pembekalan benih padi sah. Memandangkan tatacara yang diguna oleh kerajaan sekarang ini terus menerus menghadapi masalah, saya mencadangkan agar bekalan benih sah ini disediakan sendiri oleh PPK masing-masing untuk ahli dan kawasan sawah di bawah seliaannya. Bagi kawasan sawah yang tidak berada di bawah seliaan PPK, kementerian boleh menggunakan kaedah yang sama semasa tetapi yang telah ditambah baik. Untuk pengetahuan Dewan, kos operasi untuk menguruskan tanaman padi turut meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai contoh kos upah membajak telah naik, kos upah mesin menuai padi turut naik daripada RM120 kepada RM130, harga racun Ecomax 20 liter yang dulunya RM230 Tuan Yang di-Pertua, meningkat menjadi RM386. Racun, satu liter S05 yang dulunya RM22 meningkat menjadi RM56. Namun, harga belian padi dan subsidi harga padi masih ditakuk yang lama. Ini menyebabkan pendapatan bersih yang dapat dibawa pulang oleh pesawah kini semakin mengecil. Malahan kali ini bertambah teruk bagi pesawah dengan keluasan usaha yang kecil, tidak mempunyai economies of scale, terpaksa menanggung kos yang begitu besar. Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan, sama ada untuk mengapungkan harga jualan beras serta menghapuskan monopoli oleh syarikat-syarikat pemborong yang akan menyebabkan harga belian padi meningkat, kita harap. Akan tetapi saya rasa kerajaan mungkin tidak mahu opsyen ini kerana tidak mahu harga makanan staple kita terapung atau opsyen yang lebih praktikal dengan menambah subsidi harga belian padi yang lebih tinggi supaya pesawah mempunyai insentif untuk terus menanam padi kerana pulangan yang lebih lumayan. Begitu juga insentif peningkatan hasil padi yang telah ditiadakan. Jangka panjangnya saya mengesyorkan untuk lot-lot kecil sawah padi ini dicantumkan menjadi plot yang lebih besar untuk diurus secara estet sekali gus memberi pulangan yang lebih baik kepada kelompok antara yang termiskin dalam negara kita. Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang peruntukan belanja mengurus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mengawal...
Yang Berhormat, saya ada 20 orang lebih Yang Berhormat.
Okey, landing Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat landing banyak kali sudah.
Daripada RM111 juta diturunkan menjadi RM91 juta dan dikekalkan bagi tahun 2022 dengan fixed cost sebanyak RM61 juta. Ini menyebabkan baki yang ada untuk digunakan untuk kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan hanya tinggal RM30 juta daripada asalnya RM50 juta, iaitu pengurangan sebanyak 40 peratus. Ini menyebabkan kerja-kerja selenggara sistem pengairan dan saliran telah terganggu. Tiada lagi penyelenggara parit dan tali air yang dulu diberikan tiga hingga empat kali setahun, penyelenggaraan jalan ladang yang rosak tidak dapat dibuat sebaiknya akibat peruntukan ini. Terdapat juga insiden di mana rumah pam, sama ada kuasa elektrik atau diesel sukar untuk dioperasi kerana ingin menjimatkan kos. Dalam hal ini saya mohon supaya peruntukan mengurus bagi agensi seperti MADA ini dikembalikan kepada peruntukannya yang asal. Tuan Yang di-Pertua, belanjawan kita yang besar ini bagus, tetapi biarlah nilai yang besar dapat kita uruskan dengan cekap dan tepat, ia tidak akan merugikan negara. Kita harus mengimbangkan semula pinjaman dan perbelanjaan negara.
Yang Berhormat, sudahlah.
Sudah, okey.
Panjang sangat ini. Lebih daripada Presiden Parti.
Baik terima kasih. Jadi saya harap apa yang saya bangkitkan itu dapat disentuh oleh Menteri yang berkenaan. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya minta maaf, saya tidak ada masa. Yang Berhormat Kemaman, silakan 13 minit. Yang Berhormat Kemaman, silakan,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertamanya saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan, YM Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz atas penyediaan dan pembentangan Belanjawan 2022 yang berlangsung pada 29 Oktober yang lepas. Belanjawan 2022 ini saya kira merupakan suatu perancangan perbelanjaan yang strategik untuk memulihkan ekosistem ekonomi negara, pasca pandemik COVID-19 bagi memastikan kitaran ekonomi yang serupa pada era pra pandemik dapat dikecap kembali oleh kita tidak lama lagi. Tema belanjawan pada kali ini Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera membawa naratif kesaksamaan peruntukan untuk semua. Memberi gambaran bahawa semua pihak mendapat tempat dalam Belanjawan 2022 ini. Namun saya kira dalam ruang perbahasan yang ada ini, masih terdapat ruang- ruang penambahbaikan yang boleh diimplementasikan bagi memastikan belanjawan yang diluluskan kelak merupakan belanjawan yang terbaik, malah signifikan dengan situasi pasca pandemik COVID-19 dalam usaha untuk memulihkan negara dari segenap sudut sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi ke peringkat yang lebih baik.
Tuan Yang di-Pertua, pertama saya ingin membahaskan mengenai peluang pekerjaan yang amat berkait rapat dengan kadar pengangguran negara yang ternyata memberi kesan yang signifikan terhadap KDNK negara. Pada Mei 2020, kadar pengangguran meningkat pada 5.3 peratus, namun sehingga Ogos 2021, ia telah menurun pada kadar 4.6 peratus. Sungguhpun begitu, jika kita tukarkan angka peratus ini kepada nilai sebenar, hampir 750,000 orang rakyat Malaysia yang masih menganggur dan perlu diberi bantuan. Saya menyambut baik inisiatif Jamin Kerja melalui Belanjawan 2022 yang dianggarkan dapat menyediakan jaminan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan dengan memperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion. Namun, dalam konteks peluang pekerjaan ini, saya ingin menyentuh salah satu elemen penting iaitu gaji minimum bulanan semasa negara iaitu sebanyak RM1,200 wajar dibuat semakan semula. Peningkatan gaji minimum dalam konteks pekerja tempatan dan pekerja asing wajar diperhalusi semula dengan cermat. Ini kerana ia memberi impak yang sangat besar terhadap rakyat khususnya dan kepada negara secara amnya. Jikalau kita melihat pekerja tempatan yang bergaji RM1,200 perlu menanggung pelbagai bebanan kos seperti pinjaman, kos perjalanan, kos sewa rumah termasuk kos utiliti yang menyebabkan sebahagian besar gaji digunakan untuk tujuan tersebut. Akhirnya baki yang ada berkemungkinan hanya mampu bertahan sehingga separuh bulan sahaja. Sedangkan bagi pekerja asing pula, mereka mampu menyimpan
sehingga RM1,000 sebulan kerana pelbagai kemudahan seperti rumah, kenderaan ke tempat kerja dan sebagainya disediakan oleh majikan. Tuan Yang di-Pertua, gaji minimum kali terakhir disemak pada 1 Februari 2020 dengan kenaikan sebanyak RM100. Walaupun secara relatifnya ia masih terlalu baharu namun masih terdapat ruang untuk penetapan kenaikan gaji minimum dari semasa ke semasa dan pihak kerajaan perlu menetapkan sasarannya dalam jangka masa pendek, pertengahan dan juga jangka masa panjang. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin menyentuh mengenai isu kesihatan mental yang semakin membarah, lebih-lebih lagi dalam tempoh penularan wabak pandemik COVID-19 ini. Ternyata memberi impak yang besar terhadap kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara kita Malaysia ini. Hal ini memberi kesan daripada tekanan melampau sehingga menyebabkan kemurungan akibat isolasi daripada rangkaian sokongan sosial terutama keluarga dan sahabat handai. Impak kemurungan yang dihadapi sesetengah rakyat yang terjejas kesihatan mental ini meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri sebagaimana laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendapati untuk tahun 2021, kes bunuh dari Januari 2021 hingga Mac 2021 merekodkan purata kes sekali ganda lebih tinggi iaitu lebih 100 kes berbanding purata kes bulanan pada tahun 2020 iaitu lebih kurang 50 kes sahaja. Saya menyahut baik inisiatif kerajaan yang memberi penekanan terhadap isu kesihatan mental dengan memperuntukkan sebanyak RM70 juta dalam Belanjawan 2022 ini bagi memperkukuhkan jaringan perkhidmatan sokongan seperti kaunseling, psikososial, advokasi dan juga NGO. Namun, saya ingin membangkitkan persoalan mengenai sejauh manakah talian psikososial sedia ada yang dibangunkan mampu menangani masalah mental dalam kalangan rakyat dan adakah pihak kerajaan hanya memfokuskan penyelesaian isu ini dengan sekadar meningkatkan perkhidmatan talian tersebut semata-mata? Tentang advokasi dan NGO. Apakah kriteria NGO yang mendapat peruntukan untuk tujuan ini? Di sini saya melihat akan keperluan intervensi daripada kerajaan untuk memantau keberkesanan program yang dilaksanakan oleh NGO-NGO terbabit agar dana yang digunakan mampu membantu kerajaan untuk menangani permasalahan kesihatan mental ini. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin membangkitkan mengenai perindustrian mikro kecil dan sederhana. Pada tahun 2020, industri PKS menyumbang sebanyak 38.9 peratus kepada KDNK negara dan telah membuka peluang pekerjaan kepada seramai 7.3 orang pekerja yang telah menyumbang sebanyak 48.4 peratus kepada kadar guna tenaga kerja di negara ini. Namun kesan pandemik COVID-19 menyebabkan banyak pemain industri PKS terutama golongan bumiputera terpaksa “gulung tikar” dan menanggung kerugian yang besar. Bahkan, ada yang terpaksa berhutang sekali gus menyebabkan kadar pengangguran semakin meningkat. Hal ini kesan daripada kebergantungan yang tinggi terhadap perniagaan secara fizikal. Saya menyambut baik inisiatif kerajaan untuk membantu golongan usahawan PKS yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 dengan beberapa inisiatif terutamanya inisiatif skim kredit mikro yang memfokuskan usahawan PMKS dengan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion melalui beberapa saluran agensi iaitu TEKUN, Agrobank, BSN, Bank Rakyat dan BNM. Namun, saya berpandangan antara langkah terbaik bagi membantu usahawan PMKS ini adalah dengan membantu golongan ini untuk beralih kepada ekonomi digital atau perniagaan secara e-dagang. Ini kerana ia amat sesuai dan serasi dengan kecenderungan, minat dan naluri masyarakat bumiputera sekali gus ia mampu membantu golongan tersebut untuk meningkatkan kadar pendapatan golongan bumiputera ini. Bahkan saya melihat bahawa ekonomi digital ini merupakan kunci kepada penurunan kadar kemiskinan dan peningkatan ekuiti bumiputera di negara ini.
Justeru, selari dengan hasrat ini, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar menyediakan lebih banyak peruntukan untuk bumiputera dalam bidang pendidikan termasuk kemahiran dan peruntukan perniagaan berasaskan ekonomi digital. Selain itu, peruntukan untuk sokongan infrastruktur bagi pelaksanaan ekonomi digital terutamanya di kawasan luar bandar turut perlu diberi penekanan dan perhatian yang lebih mendalam dan juga secara menyeluruh. Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyebut mengenai keseimbangan pembangunan wilayah melibatkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, di Pantai Timur dan juga Pantai Barat serta negeri Sabah dan Sarawak. Gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah menyediakan satu manual yang cukup lengkap daripada aspek teorinya iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan. Seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama, inklusif, secara sama rata kepada semua pihak. Saya menyahut baik pengumuman kerajaan terhadap peruntukan berjumlah RM20 juta untuk setiap negeri khususnya untuk projek berkaitan jaminan bekalan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Selain itu, peningkatan peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak masing- masing sebanyak RM5.2 bilion dan juga RM4.6 bilion turut mencerminkan kecaknaan kerajaan terhadap keseimbangan pembangunan wilayah di negara ini. Namun, saya ingin membangkitkan sedikit persoalan mengenai peruntukan pembangunan tambahan untuk negeri-negeri yang diklasifikasikan sebagai antara negeri yang miskin di negara ini termasuklah dua dari negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan. Saya berpendapat adalah sesuatu yang wajar untuk negeri yang dikategorikan sebagai miskin ini di Semenanjung iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis turut diberikan peruntukan tambahan sebagaimana Sabah dan Sarawak. Sekali gus dapat memacukan pembangunan di negeri-negeri tersebut agar dapat berdiri sama gah dengan negeri-negeri yang lain. Selain itu, pembangunan secara terus daripada Kerajaan Persekutuan pula perlu menyeluruh dan tidak fokus kepada lokaliti tertentu sahaja. Selain mengesyorkan pelabur- pelabur asing kepada negeri secara adil dan saksama bagi menjana pendapatan rakyat di lokaliti terbabit sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi secara makro di negeri-negeri tersebut.
Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan berkaitan kerenah birokrasi yang boleh merencatkan pembangunan daripada berjalan seperti yang telah dijadualkan. Seperti yang kita maklum kekangan kerenah birokrasi ini impaknya amat signifikan terhadap ketetapan waktu pengagihan bajet yang telah diluluskan. Seharusnya kerajaan perlu membangunkan satu mekanisme yang khusus untuk memastikan kelancaran pengagihan bajet terutamanya kepada kerajaan-kerajaan negeri. Selain itu kontraktor-kontraktor yang mendapat tender terus daripada kerajaan perlu terdiri daripada mereka yang amanah dan kompeten. Dalam erti kata yang lain mampu mempersembahkan hasil kerja yang berkualiti dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut bajet yang telah diperuntukkan. Kita tidak mahu kontraktor yang bersifat khianat terhadap amanah yang telah diberi oleh kerajaan dan rakyat ini kerana projek yang diberikan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Di samping itu saya berpandangan satu mekanisme yang tepat perlu dikuatkuasakan bertujuan untuk membuat pemantauan secara berkala terhadap projek- projek pembangunan yang telah diluluskan. Hal ini bukan sahaja untuk memastikan perjalanan pembangunan berlangsung seperti yang dijadualkan mampu mengelak berlakunya ketirisan yang bakal mengecilkan nilai peruntukan yang sampai kepada tujuan sasar yang sebenarnya.
Akhir Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyatakan berhubung dengan teknologi hijau yang kini menjadi salah satu penumpuan negara-negara maju dalam memastikan kelestarian alam sekitar negara terjaga seiring pembangunan yang telah dilaksanakan. Secara umumnya kita memahami bahawa teknologi hijau mampu membantu menyelesaikan masalah alam sekitar terutamanya isu perubahan iklim. Namun, saya berpandangan kerajaan perlu meneliti apakah masalah utama yang ingin diselesaikan dalam konteks negara kita pada hari ini agar teknologi hijau yang bakal dilaksanakan adalah sesuai dengan keperluan negara berdasarkan penilaian semasa. Sebagai contoh imej semasa negara banyak terjejas dalam bidang pengurusan hutan dan industri sawit yang mana menjadi salah sebuah komuniti yang menyumbang kepada pendapatan yang tinggi terhadap KDNK negara. Saya berpandangan kerajaan perlu memberi penelitian terhadap teknologi hijau untuk menyelesaikan isu-isu penting dalam permasalahan tersebut yang mana penyelesaiannya harus mengambil kira data-data pelepasan karbon dalam bidang yang saya sebutkan di atas dan juga beberapa bidang yang lain seperti perikanan, pertanian selain sawit dan bukan hanya menimbangkan bidang-bidang yang bersifat global seperti tenaga, air dan bangunan dan semata-mata. Selain itu, saya juga mendapat pendidikan tentang kepedulian terhadap alam sekitar juga perlu dipertingkatkan dalam kalangan rakyat di negara ini. Saya kurang optimis Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 mampu dicapai dalam keadaan masih ramai rakyat yang tidak mempedulikan tentang alam sekitar ini. Sebagai contoh usaha untuk membuat pengasingan sampah. Justeru saya berpendapat bahawa projek yang melibatkan pengurusan alam sekitar termasuk teknologi hijau perlu digerakkan oleh semua pihak iaitulah rakyat dan juga kerajaan. Sekiranya rakyat berada dalam kumpulan etika alam sekitar yang tidak menyokong teknologi hijau dan penjagaan alam sekitar, modifikasi etika perlu dilaksanakan melalui pendidikan ekonomi fiskal dan juga penguatkuasaan undang-undang. Akhir, di samping itu juga penumpuan untuk membasmi kemiskinan perlu dilakukan dengan lebih agresif kerana sekiranya kebajikan rakyat tidak dijaga ia nya amat sukar untuk mengubah sikap etika rakyat kepada menyokong teknologi hijau dan penjagaan alam sekitar. Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua dan saya menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Ledang. Silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang Ledang untuk membahaskan Belanjawan 2022 bagi peringkat dasar ini. Tuan Yang di-Pertua, ada peribahasa Melayu yang menyebutkan, ‘sungguhpun batang merdeka, ingat pucuk akan terempas’. Apakah maksudnya? Maksudnya ialah sesuatu perkara yang kita usahakan itu harus dikaji dengan cermat daripada mula hingga ke akhirnya supaya selamat dan sempurna. Mengambil iktibar daripada peribahasa ini saya terpanggil untuk membangkitkan beberapa perkara penting dalam perbahasan pada hari ini. Sehingga Jun 2021, hutang merangkumi badan berkanun, perbadanan dan syarikat awam mencatatkan hampir RM400 bilion. Hutang ini dilabel sebagai off-budget ataupun luar belanjawan kerana kebanyakan projek infrastruktur tidak disebut jelas dalam belanjawan. Ia kononnya supaya projek atau infrastruktur tersebut bebas untuk melaksanakan amalan lebih cekap daripada yang dibenarkan melalui belanjawan konvensional. Masalahnya ia tidak telus dan tidak terkecuali daripada masalah kesulitan kewangan. Bebannya boleh jatuh pada siapa? Kepada kerajaan dan kepada rakyat. Jelas
penelitian pemantauan dan laporan harus dilaksanakan. Justeru dalam perbahasan peringkat dasar ini, saya terpanggil untuk membawa beberapa perkara yang sangat terkait dengan aliran kewangan negara yang memberi impak juga kepada belanjawan ini. Tuan Yang di-Pertua, pertama berkenaan inisiatif 5G yang dipandu oleh Digital Nasional Berhad yang ramai rakan juga telah sebutkan. Syarikat bertujuan khas di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Kita meraikan sebarang usaha untuk memperkasa infrastruktur telekomunikasi di Malaysia seperti inisiatif 5G. Namun, seperti mana rakan saya Yang Berhormat Lembah Pantai, rakan saya tadi Yang Berhormat Kubang Pasu juga. Kami berasa bertanggungjawab untuk memastikan usaha-usaha ini di laksana dengan telus, tepat dan sempurna. Apatah lagi apabila perancangan proses pemberian tender, pemilihan pengendali, penetapan mekanisme kewangan dan lain-lain yang berkaitan dengan inisiatif 5G ini dibuat dalam tempoh negara dalam darurat. Dalam masa yang sama, Parlimen tidak dibenarkan bersidang dan tidak membahaskan berkenaan dengan perkara ini. Ini penting. Inisiatif melibatkan jutaan bahkan bilion ringgit duit negara, duit negara dan duit rakyat. Seperti Yang Berhormat Ketua Pembangkang juga sebutkan dalam perbahasan beliau, kita tidak mahu akhirnya inisiatif ini menjadi beban yang mencengkam rakyat pada masa hadapan seperti 1MDB. Kita tidak mahu akhirnya ia menjadi satu tanggungan luar jangka atau, dengan izin, contingent liability. Daripada aspek tata kelola, saya menggesa kerajaan dan pihak terlibat meneliti semula peranan dan tanggungjawab setiap entiti. Saya maklum dalam inisiatif 5G ini ada beberapa orang pemain utama yang terlibat. Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, DNB, syarikat Ericson dan syarikat-syarikat telekomunikasi. Apa yang saya lihat berlaku pada hari ini Tuan Yang di- Pertua, struktur untuk mengendalikan projek 5G ini tidak jelas, ada kekeliruan, ada kecelaruan. Lebih malang kecelaruan ini bukan hanya dalam kalangan rakyat malah pihak yang terlibat sendiri juga dilihat celaru. Jawapan-jawapan KKMM dalam sesi pertanyaan Dewan berkenaan dengan isu 5G mengesahkan perkara ini. Tanya KKMM fasal satu perkara, KKMM akan taici kepada MOF, tanya kepada SKMM atas satu perkara SKMM akan taici kepada DNB. Kita hendak tanya siapa lagi? DNB tidak boleh datang Parlimen untuk jawab. Ini tidak boleh. Jadi saya menggesa kerajaan agar ambil satu tindakan yang tuntas dan cermat untuk memperhalusi beberapa aspek. Peranan pemain-pemain utama, pemantauan terperinci, mekanisme pengawalan perkembangan tahap projek serta aliran kewangan projek 5G ini harus diteliti dan dimaklumkan. Berkenaan struktur kewangan. Saya minta kerajaan memperincikan perancangan kewangan meliputi anggaran perbelanjaan, mekanisme pendanaan dan perancangan kritikal sekiranya berlaku sebarang kesulitan terkait kos projek ini. Saya minta kerajaan memperincikan unjuran sebenar perbelanjaan yang telah digunakan bagi inisiatif ini. DNB dijangka membuat siri pinjaman bank serta menerbitkan sukuk menjelang tahun hadapan yang keseluruhannya berjumlah RM8 bilion. DNB dijangka membelanjakan di antara RM16.5 bilion hingga RM20 bilion selama 10 tahun untuk membina jaringan 5G. Perbelanjaan untuk 600 orang staf DNB sahaja dijangka berjumlah RM2.5 bilion atau purata RM34,722 seorang sebulan untuk tempoh sedekad itu.
Yang Berhormat Ledang.
Ini tidak ada dalam mana-mana butiran belanjawan.
Yang Berhormat Ledang.
Penelitian ini sangat penting. Silakan Yang Berhormat Lembah Pantai. Boleh Tuan Yang di-Pertua?
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Ledang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Adakah Yang Berhormat Ledang bersetuju sekiranya kita minta Yang Berhormat Menteri Kewangan jelaskan kepada Dewan yang mulia ini angka-angka yang disebut oleh DNB memandangkan Kementerian Kewanganlah pemilik besar, utama DNB ini? Berapa yang akan dibayar kepada CEO DNB, sekiranya daripada 600 orang itu purata sebulan untuk sedekad itu ialah RM34,722. Berapakah gaji CEO DNB? Apakah pandangan Yang Berhormat?
Setuju Yang Berhormat Lembah Pantai. Itu yang saya maksudkan. Kita mesti ada penjelasan dan perincian yang diberikan. kita tidak mahu di penghujung hari inisiatif yang memakan belanja maha besar ini menjadi satu beban seperti yang berlaku dalam kes 1BestariNet sebelum ini dan tidak lupa dalam kes 1MDB. Ledang mengesyorkan supaya perkara ini diteliti oleh PAC atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dari sekarang. Bagi aspek teknikal, saya menggesa kerajaan melalui DNB mahupun SKMM dapat memberi penjelasan berkenaan dengan impak dan kemampuan inisiatif 5G ini pada masa hadapan. Apakah single wholesale network merupakan model yang terbaik sedangkan beberapa buah negara gagal atau mengalami masalah menggunakan model serupa? Apakah kita sudah tahu punca kegagalan mereka? Apakah kita bersedia atasi masalah serupa? Peribahasa Melayu menyebut, yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Tuan Yang di-Pertua mungkin saya sambung selepas ini sebab masa.
Lima minit 30 saat.
Boleh.
Yang Berhormat, sambung selepas ini.
Ya, terima kasih.
Dimaklumkan kepada semua Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua, boleh kita tahu senarai?
Okey. Dimaklumkan kepada semua Yang Berhormat dimaklumkan bahawa Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menjemput semua Ahli-ahli Yang Berhormat untuk ke Majlis Beramah Mesra yang diadakan di Dewan Bankuet jam 1 tengah hari. Maknanya ada jamuanlah selepas ini. Kehadiran Yang Berhormat semua adalah amat dialu-alukan. Saya sebut nama-nama pembahas ya sebelum kita berhenti. Selepas Yang Berhormat Ledang, Yang Berhormat Pengerang, Yang Berhormat Kulai, Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Libaran, Yang Berhormat Sepanggar, Yang Berhormat Kota Samarahan- ini sampai ke nombor 11. Ahli-ahli Yang Berhormat, memandangkan sekarang lebih dari jam pukul 1 tengah hari, saya menempohkan Mesyuarat sekarang, dan akan bersambung semula jam 2.30 petang. Terima kasih.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.03 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh semua. Selamat tengah hari. Kita sambung perbahasan dengan menjemput Yang Berhormat Ledang untuk menyambung ucapan beliau. Silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya tadi habis di peringkat inisiatif 5G tetapi belum selesai. Ada sedikit lagi berkenaan dengan 5G ini. Kemampuan dan pembangunan capaian internet 4G pun belum sempurna. Apakah jaminan kerajaan terkait permasalahan seperti kelemahan blind spot sambungan rangkaian ataupun dengan izin network connectivity, isyarat dan liputan lemah seperti yang berlaku dalam 4G. Apa perancangan kerajaan dalam memastikan inisiatif ini tidak hanya menguntungkan sesetengah pihak dan kawasan sahaja? Saya ingin ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada SKMM Johor yang bekerjasama meneliti aduan di Ledang. Akan tetapi saya masih bimbang dengan tahap komitmen syarikat telekomunikasi untuk bertindak. Syarikat telekomunikasi pada umumnya menawarkan kelajuan yang rendah untuk muat turun dan muat naik di samping isu liputan dan keberadaan 4G berbanding kadar global. Justeru, apa jaminan kerajaan supaya syarikat telekomunikasi sedia untuk menyambut pelaksanaan peralihan teknologi 5G? Cuba Tuan Yang di-Pertua, kita cabut topi Ahli Parlimen, topi ahli kerajaan, ahli politik, topi-topi yang lain semua kita cabutkan dan kita melihat betul-betul inisiatif 5G ini daripada kaca mata rakyat. Apa yang rakyat perlu dan apa yang rakyat faham. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya bergerak kepada isu kedua iaitu terkait permasalahan dengan AirAsia. Syarikat AirAsia terkenal dengan masalah pembayaran semula hutang syarikat. Terkini sudah mencecah hampir RM35 bilion. Keterangan terkini menunjukkan AirAsia dalam kemelut penstrukturan semula hutang mega ini. Meskipun AirAsia dianggap antara syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, namun terdapat aduan-aduan pengguna seperti aduan berkenaan sistem penukaran jadual penerbangan yang teruk, sistem teknikal yang lemah dan tidak mesra pengguna. Apa yang menjadi tanda tanya saya ialah berkenaan perolehan dana pinjaman kepada AirAsia sehingga separuh bilion ringgit yang dijamin oleh Danajamin Nasional Berhad. Seperti yang dilaporkan, pinjaman ini dijamin sehingga 80 peratus oleh kerajaan. Di sini wujudnya kemungkinan pendanaan tambahan kepada kerajaan kelak. Justeru, saya ingin minta penjelasan terperinci apakah timbal balik jaminan yang diberikan kerajaan kepada pinjaman untuk AirAsia ini dalam keadaan AirAsia bergelut dengan hutang serta masa depan sektor penerbangan yang masih belum kukuh? Persoalannya apakah wujud sebarang usaha backdoor deal melibatkan unsur politik bagi memberi keuntungan kepada sesetengah pihak? Adakah kerajaan ingin mengambil risiko berbahaya demi menyelamatkan pengaruh taikun besar? Apakah ada pihak yang tidak sepatutnya mengaut keuntungan atas angin daripada urus niaga berisiko besar ini? Seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, apakah ini sebuah special treatment kepada AirAsia? Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya hendak bangkitkan berkenaan isu Lapangan Terbang Subang. Saya maklum kerajaan telah menafikan berkenaan soal pengambilalihan lapangan terbang ini. Namun peletakan jawatan CEO Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) baru-baru ini menimbulkan persoalan. Pihak kesatuan pekerja- pekerja MAHB juga terkejut dengan perkembangan itu. Apakah masih ada tekanan daripada tangan-tangan ghaib supaya pengambilalihan ini tetap berlaku? Saya dengar juga ura-ura bahawa ada lagi kakitangan yang mungkin akan diberhentikan kerana tidak bersetuju dengan kerakusan merompak aset rakyat ini. Menteri wajib menjawab apa rancangan untuk Lapangan Terbang Subang dengan telus. Di mana
kedudukannya dalam Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030? Di mana kedudukan cadangan Subang Airport Regeneration plan sebagai agenda nasional? Saya minta kerajaan jelaskan, jangan diam. Mentang-mentang beberapa perkara besar yang saya sebut ini diangkat sewaktu negara dalam darurat, jadi kerajaan buat-buat tutup mata. Jika tiba-tiba angin berubah, tiba-tiba aral melintang, yang terus menderita ialah rakyat dan negara, yang gemuk dibiarkan gemuk, yang kurus dipijak-pijak. Tuan Yang di-Pertua, kunci kepada aliran kewangan yang baik semestinya pada mekanisme semak dan imbang yang wujud. Anak-anak sedari kecil pun kita ajar agar meneliti duit poket keluar masuk agar tiada duit yang hilang, inikan pula aliran keluar masuk duit negara. Dalam keadaan Belanjawan 2022 yang terbesar, RM322 bilion dan negara terpaksa berhutang untuk berbelanja kerana pandemik COVID-19, kita tidak mahu projek off-budget yang tidak terkawal dan besar jumlahnya akhirnya menjadi kontinjen liabiliti yang menghantui negara dan rakyat pada masa depan. Dalam sedikit masa yang berbaki, saya ingin memohon penjelasan mengenai perkara berikut Tuan Yang di-Pertua. Pertama, minta Menteri Kesihatan menjelaskan status penaiktarafan Hospital Tangkak sebagai hospital kluster pakar. Setahu saya, saya tidak nampak ia berlaku malah hospital itu sudah berusia 100 tahun dan sangat daif dengan pelbagai masalah keselamatan, sistem kumbahan, fasiliti wad dan lain-lain lagi. Bantulah demi rakyat di Ledang. Kedua, saya minta Menteri Dalam Negeri untuk memastikan peruntukan untuk membaik pulih dan menaiktarafkan balai dan pondok polis terutamanya di daerah Tangkak yang juga sangat daif. Saya faham belanjawan KDN RM17 bilion dan PDRM ada RM8.5 bilion. Jadi, pastikanlah supaya infrastruktur, pondok, balai polis, kuarters-kuarters ini juga terjaga. Ketiga, terakhir, saya minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menjelaskan apa nasib pesawah-pesawah kita? Saya dimaklumkan baru-baru ini oleh pesawah di Kesang Gate, Ledang bahawa nelayan diberikan insentif dan bantuan tetapi pesawah terus dibebani dengan harga kos yang meningkat walaupun harga keuntungan sawah sangat rendah dan tidak dinaikkan. Apakah pembelaan kerajaan terhadap pesawah? Apakah saraan bulanan boleh dipertimbangkan juga untuk pesawah? Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, marilah kita amalkan politik yang bersih, politik matang di PRN Melaka. Kita tolak amalan rasuah, kita tolak pembelian undi, kita pilih calon Pakatan Harapan. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Wa’alaikumsalam. Seterusnya Yang Berhormat Pengerang. Silakan.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan saya kebenaran dan saya mohon maaf tidak dapat pergi kepada jamuan Tuan Yang di-Pertua tadi. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memberikan peluang kepada Pengerang untuk membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 yang telah dibentangkan pada 29 Oktober. Bajet ini amat penting memandangkan ia merupakan teras utama dalam usaha memulihkan negara pada pascaCOVID-19. Perbahasan saya berlandaskan kepada satu tema utama iaitu peranan Ahli-ahli Parlimen di dalam pelaksanaan Bajet 2022. Pandemik Global COVID ini telah mengajar saya banyak perkara Tuan Yang di-Pertua. Sebagai Ahli Parlimen keupayaan saya untuk mempengaruhi pelaksanaan pembangunan infrastruktur di kawasan saya sendiri adalah amat terhad. Apabila masyarakat di kawasan Parlimen saya mempunyai pelbagai masalah. Aduan sering dikemukakan kepada pejabat Parlimen tetapi sering kali saya sendiri tidak
mampu untuk memberi maklum balas kerana saya sendiri tidak dapat maklum balas yang komprehensif mengenai rancangan-rancangan pembangunan di kawasan Parlimen saya sendiri. Belanjawan dikemukakan di dalam dokumen yang begitu rumit dengan garis bajet berjumlah berbilion-bilion. Orang ramai, orang biasa tidak memahami bagaimana belanjawan ini mempengaruhi hidup mereka sebagai individu. Ia seperti dalam terma bahasa Inggeris dengan izin, carpet bombing iaitu bajet yang sungguh mengagumkan tetapi butirannya tidak jelas di mata kasar. Ini teguran ikhlas saya Tuan Yang di-Pertua sebagai Ahli Parlimen Pengerang. Ahli Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menjalan audit belanjawan di kawasan masing-masing ataupun terlibat di dalam proses pengesahan dan pemantauan. Ini berlaku dan saya hendak sebut dan ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Kinabatangan dan juga Yang Berhormat Lenggong tadi telah menimbulkan perkara ini semasa saya mempengerusikan mesyuarat tadi. Kami dan juga di dalam kawasan luar bandar khasnya tidak diberi peluang untuk melibatkan diri. Mungkin perancangan libat urus daripada kementerian itu ada, itu adalah top-down tetapi pelaksanaan dengan izin implementation gap. Salah satu daripada cara kepada arah yang win-win ini Tuan Yang di-Pertua ialah saya ingin mencadangkan tentang, banyak kali saya sebut decentralization dengan izin pentadbiran bukan sahaja di peringkat dasar kerajaan tetapi lebih penting di peringkat pelaksanaan. Oleh itu saya juga, ingin mengemukakan tujuh soalan kepada Yang Berhormat Menteri. Saya mahu kerajaan menerima hakikat bahawa kita ini adalah sebuah negara hasil tinggalan penjajahan British. Bila kita dengar Ahli-ahli Parlimen berbahas daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan bukan kerajaan. Kita akan menyedari bahawa ketinggalan daripada penjajah yang menyebabkan berkemungkinan dengan izin Tuan Yang di-Pertua pelaksanaan itu agak berbeza dari segi kerajaan yang melaksana walaupun orang politik yang membuat dasar dan apabila orang politik membuat dasar— selalu orang berkata Tuan Yang di-Pertua Ministers come, Ministers go dengan izin. Maknanya kerajaan tetap akan ada tetapi kepimpinan kerajaan di peringkat dasar berubah. Jadi, bila berubah Tuan Yang di-Pertua, akan mewujudkan satu keadaan yang kucar-kacir di bawah terutama sekali bila Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berlainan, tambahan juga kerajaan tempatan. Itu sebabnya bila kita hendak bercakap tentang Bajet 2022 ini pada tahun depan dan kita hendak sentuh kepada elemen pelaksanaan bajet untuk menyelesaikan cabaran daripada COVID-19. Saya percaya bahawa perlunya satu peranan yang lebih terbuka daripada peringkat Kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri dan memainkan peranan yang lebih proaktif dan terbuka kepada semua Ahli Parlimen. Tidak kisah sama ada Ahli Parlimen kerajaan atau Ahli Parlimen bukan kerajaan. Hal ini kerana untuk mengembalikan kembali ekonomi kita kepada rakyat perlu kerjasama daripada semua pihak Tuan Yang di-Pertua. Jadi, soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri-menteri, terutama sekali kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan ialah bagaimana dalam bajet ini rakyat Pengerang akan mendapat manfaat daripada belanjawan dan juga struktur cukai yang diperoleh daripada industri-industri dan perniagaan mega di kawasan Parlimen Pengerang saya? Saya mempunyai tiga projek besar Tuan Yang di-Pertua, Projek RAPID daripada Petronas, Projek Dialog dan kemudian Projek Desaru Coast daripada Khazanah. Jadi, soalan saya kepada kerajaan bagaimana rakyat di kawasan Parlimen Pengerang dapat manfaat daripada kutipan cukai secara langsung ataupun tidak langsung? Kedua, adakah Kementerian Kewangan mempunyai strategi untuk mengagihkan dana tanggungjawab sosial korporat ataupun dengan izin corporate social responsibility funds daripada industri-industri yang begitu mega secara langsung supaya boleh
disalurkan kepada inisiatif-inisiatif penambahbaikan infrastruktur seperti sistem lampu solar percuma, biasiswa untuk pendidikan orang tempatan, menaikkan taraf kemudahan kesihatan seperti klinik-klinik kesihatan dan mewujudkan hospital swasta secara percuma kepada orang tempatan dan sebagai contoh sistem pengangkutan percuma untuk golongan warga emas. Kenapakah mesti selalunya tanggungjawab ini diambil alih oleh kerajaan pusat ke kerajaan negeri? Kenapakah tidak boleh cukai-cukai yang dikutip diberikan peratusan kepada mereka yang memerlukan bantuan dalam kawasan-kawasan pembangunan sendiri sebab bila pembangunan dilakukan Tuan Yang di-Pertua yang akan menerima habuan daripada consolidated fund ialah kerajaan. Saya tidak menafikan itu system structure kerajaan mengutip cukai. Akan tetapi dari segi perbelanjaan Tuan Yang di-Pertua dan kalau adanya CSR yang wujud perlu diberikan peluang secara terus dan secara tulus kepada orang tempatan, khasnya dalam kawasan Parlimen dan dipantau secara tidak langsung oleh Ahli Parlimen tersebut. Ketiga, bilakah Ahli-ahli Parlimen akan diberikan kebenaran untuk mengakses data-data penting yang dipegang oleh agensi-agensi tertentu dalam kawasan mereka? Sekali lagi saya sebut kepada apa yang diucapkan oleh Yang Berhormat Kinabatangan tentang bank data. Kami di sini Tuan Yang di-Pertua memang masalah data, semua kami tidak tahu. Bila tanya, yang kami tanya pun tidak tahu, tanya kami pun kami tidak tahu. Itu yang jadikan keadaan ini agak kelam kabut. Ini sebab kalau tidak ada bank data Tuan Yang di- Pertua, bagaimana kita hendak tahu keberkesanan pendekatan pembangunan yang hendak diturunkan oleh kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri. Keempat, apakah garis masa ataupun dengan izin timeline untuk pelaksanaan Belanjawan 2022 ini? Kenapakah tidak kerajaan boleh memanggil sidang khas, mesyuarat khas dalam masa tiga, empat bulan daripada kelulusan bajet untuk tahun 2022 supaya adanya kenyataan Menteri, ministerial statement supaya kami di bawah ini boleh mengetahui dan juga menilai tentang kejayaan-kejayaan pelaksanaan yang dibuat oleh kerajaan dan juga kementerian-kementerian dalam kawasan kami secara langsung ataupun tidak langsung? Kelima, adakah Parlimen Pengerang termasuk di dalam perancangan RM50 juta yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri dengan kewujudannya pusat pembangunan kemahiran negeri bagi meningkatkan taraf kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk 5,000 pekerja dalam bidang teknikal. Kerajaan sebagai mana saya sebut tadi Tuan Yang di-Pertua carpet bombing— jadi soalan saya ialah bagaimana pengkhususan RM50 juta ini adakah kepada negeri Johor dan juga kepada daerah Kota Tinggi dan juga kepada kawasan Parlimen Pengerang? Saya ucap terima kasih kepada kementerian yang relevan kerana menyatakan dalam masa terdekat wujudnya Kolej Vokasional (KV) di Pengerang dan saya harap pada tahun 2022 akan menjadi satu kenyataan. Keenam juga, dalam penglibatan Ahli Parlimen di dalam pelaksanaan program kebajikan masyarakat. Ini saya hendak timbul tentang kejayaan Skuad Waja daripada kementerian yang relevan. Saya ucapkan tahniahlah. 35,823 orang sukarelawan telah dilatih di bawah Program Skuad Waja. Ini menurut daripada kenyataan Menteri 23 Oktober 2021 dan hanya 826 orang mangsa keganasan terhadap wanita telah berjaya dibantu. Andai kata setiap kes dikendalikan oleh seorang sukarelawan Skuad Waja. Kadar utiliti dengan izin utility rate of volunteers trained adalah hanya sebanyak 0.02 peratus. Jadi daripada 35,823 orang sukarelawan dilatih hanya dapat menyelesaikan 826 orang mangsa. Jadi, bagi saya Tuan Yang di-Pertua ini agak tidak adil keimbangannya. Jadi saya berharap daripada kementerian saya kurang faham pelan pelaksanaan inisiatif Program Skuad Waja tetapi saya ucap tahniah mungkin niatnya itu betul tetapi harapan saya jangan pula Skuad Waja ini jadi political tool Tuan Yang di-Pertua. Ini sebab Skuad Waja jadi political tool banyak jadi isu yang perlu kita lihat.
Saya hendak tahu tentang terms of reference juga kursus yang dikendalikan sebab kalau kita hendak memberikan kaunseling sebagai contoh dalam peranan Skuad Waja, kaunseling ini tidak boleh juga dibuat satu hari Tuan Yang di-Pertua agak bahaya dan kalau disebutkan tentang bantuan untuk keganasan, bantuan yang macam mana Tuan Yang di-Pertua? Kita tidak hendak harapkan pagar, pagar makan padi. Kita latih salah orang Tuan Yang di-Pertua, kang orang lain dibawanya lari. Pandai-pandailah kita menilai. Itu sebabnya Tuan Yang di-Pertua, saya harap RM10 juta yang disebut bagi tahun 2022. Kerajaan boleh mengkaji peranan yang boleh dimainkan oleh 222 orang Ahli Parlimen untuk diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah kepada Program Skuad Waja sebagai program pelatih, pemantau bantuan dan sebagainya.
Saya darab Tuan Yang di-Pertua, daripada RM10 juta kalau dibahagikan kepada kami, setiap daripada kami boleh dapat RM45,000 untuk kawasan Parlimen. Andainya, cantiknya kami boleh mencari seorang sukarelawan mungkin lebih daripada seorang untuk membantu kementerian dalam mengendalikan Skuad Waja. Ini disebabkan, kami di sini Tuan Yang di-Pertua mengenali rakyat kami di bawah. Kami dapat membantu. Kalau kerajaan yang memilih kita tidak tahu dia pilih siapa dan kalau kerajaan pun pilih seperti yang saya sebut kita tidak mahu ‘Harapkan pegar, pegar makan padi’ dan akhir sekali kita tidak mahu Skuad Waja menjadi satu political tools kepada mereka yang memegang jawatan sedemikian. Itu bukan tuduhan Tuan Yang di-Pertua, harapan saya tidak berlaku. Berkenaan dengan dana Yayasan Keluarga Malaysia dan pusat sokongan sosial tempatan, saya pun berharap bahawa setiap Ahli Parlimen diberikan peranan untuk mengendalikan program-program untuk membantu kerajaan dalam menjalankan tugas yang lebih cepat, efisien dan juga efektif. Ketujuh, tentang peruntukan dana untuk matlamat pembangunan mampan ataupun SDG Goal 16 untuk keamanan, keadilan dan keutuhan institusi atau peace, justice and strong institution akan manfaatkan usaha-usaha untuk menambahbaikkan badan kehakiman dan juga hak asasi. Saya berharap Tuan Yang di-Pertua, kalau boleh SUHAKAM dan juga Office of the Children's Commissioner (OCC) diberikan sebahagian peratusan daripada bajet mungkin sin tax untuk SUHAKAM dan sebahagian daripada bajet sugar tax untuk OCC iaitu tax gula untuk di Office of the Children's Commissioner. Kalau kita tengok dan kita darabkan satu percent pun ataupun dua percent akan menjadi satu penetapan yang lebih logik kepada mereka kerana mereka mengendalikan kerja-kerja pemantauan dalam isu- isu hak asasi dan kanak-kanak. Kalau sekadar mendapat dengan izin belanjawan daripada kerajaan, seolah-olah SUHAKAM dan juga Office of the Children's Commissioner (OCC) menjadi sebagai agensi kerajaan, bukan saya rasa tidak elok Tuan Yang di-Pertua tetapi saya rasa adalah lebih elok kalau dapat dijalankan secara as of right, maknanya peratusan daripada sin tax ataupun sugar tax diberikan kepada mereka untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti hak asasi dan sebagainya. Akhir sekali sejumlah 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun 2020. Setakat 31 Ogos 2021 sejumlah 2,162 kes aktif masih dalam proses perbicaraan. Saya ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan memberikan perhatian yang segera dan serius terhadap jurang-jurang implementasi di peringkat institusi seperti keperluan perjawatan khusus, pegawai kehakiman JUSA C bagi hakim mahkamah-mahkamah ini untuk membaiki sistem pelaporan dan penyediaan pelatihan khusus di ILKAP, PDRM dan JKM. Saya menyambut baik hasrat kerajaan untuk memperuntukkan RM13 juta khas untuk memperkasakan Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia bagi siasatan seksual wanita dan kanak-kanak termasuk perwujudan 100 perjawatan baru dan inisiatif-inisiatif. Akan tetapi Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menimbulkan bahawa apa gunanya kejayaan menyiasat kalau ia tidak dapat diukur kejayaan dengan sabitan. Ini bererti bahawa investigation itu penting tetapi juga conviction.
Itu sebabnya bagi saya adalah juga baik bahagian kehakiman judisiari diberikan pengkhususan bajet dalam kewujudan hakim-hakim JUSA C untuk memantau dan mengendalikan kes-kes dalam jenayah seksual di seluruh negara. Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya berharap kita semua dapat sama-sama berganding bahu memulihkan ekonomi Malaysia bagi meningkat kebajikan kepada rakyat Malaysia seterusnya menjadikan kita semua sebagai satu Keluarga Malaysia yang cukup berjaya. Dengan itu, Pengerang menyokong. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Walaikumsalam. Terima kasih Yang Berhormat Pengerang. Saya ingin mengumumkan 10 orang pembahas selepas ini. Selepas ini kita mulakan dengan Yang Berhormat Kulai, diikuti Ahli-ahli Yang Berhormat berikut - Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Libaran, Yang Berhormat Sepanggar, Yang Berhormat Kota Samarahan, Yang Berhormat Permatang Pauh, Yang Berhormat Bachok, Yang Berhormat Rasah, Yang Berhormat Betong dan Yang Berhormat Hulu Selangor dan yang kemudiannya akan diumumkan kemudian. Yang Berhormat Kulai dipersilakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan saya peluang untuk membahaskan Belanjawan 2022. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia bagi membantu anak- anak yatim piatu yang terkesan dengan pandemik COVID-19 pada 23 Oktober. Menurut beliau, kerajaan mendapati seramai 5,173 orang anak yang menjadi yatim dan yatim piatu kerana wabak COVID-19. Yayasan Keluarga Malaysia akan bertindak sebagai institusi yang akan membantu golongan ini dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun. Saya menyokong dan menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan ini untuk membantu anak yatim piatu kerana wabak COVID-19, tetapi bantuan dan sokongan daripada aspek pendidikan tidak harus berhenti apabila mereka mencapai umur 18 tahun. Saya menyeru kerajaan ini untuk melanjutkan sokongan dan bantuan pendidikan sehingga golongan ini memperoleh ijazah sarjana muda pertama mereka di mana-mana IPTA. Hak untuk menuntut pengajian tinggi adalah satu hak asasi pada zaman ini. Untuk golongan yang hilang kedua-dua ibu bapa, apakah peluang mereka untuk menuntut pengajian tinggi sekiranya Yayasan Keluarga Malaysia menghentikan segala bantuan apabila mereka mencapai umur 18 tahun? Terdahulu dalam ucapannya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut berkongsi kisah 13 orang anak daripada dua buah keluarga yang hilang tempat bergantung dan berpaut kisah kasih. Mereka ialah adik Nazura Nabilah Benyajeed yang berumur 19 tahun yang terpaksa menjaga tujuh orang adiknya. Manakala adik Hadrami Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama empat orang adiknya. Bagi adik Nazura Nabilah yang berusia 19 tahun, saya percaya beliau bukan sahaja memerlukan bantuan untuk menjaga tujuh orang adiknya tetapi juga memerlukan bantuan supaya beliau masih boleh menuntut pengajian tinggi. Sama juga untuk adik Hadrami Hasil, sekiranya beliau dibenarkan untuk meneruskan pengajian tinggi di IPTA selepas mencapai umur 18 tahun, sudah pasti dia boleh memberi sokongan dan juga jagaan yang lebih baik untuk adik-adiknya. Jadi, saya berharap Yang Amat Berhormat Bera bolehlah mempertimbangkan rayuan saya supaya mereka tidak akan hilang peluang untuk menuntut pengajian tinggi selepas kehilangan ibu bapa disebabkan COVID-19. Saya berharap kerajaan ini tidak akan mengguna alasan bahawa tiada peruntukan untuk menolak cadangan saya kerana
dalam pandangan saya kerajaan ini bijak berbelanja. Tukar kereta rasmi Menteri boleh jimat RM2.80 setiap kereta sebulan. Saya mempunyai kepercayaan yang penuh terhadap kerajaan ini untuk mencari cara yang lain untuk menanggung kos pengajian tinggi anak yatim piatu COVID-19. Jangan lupa untuk tahun 2020, oleh sebab ketirisan kerajaan kami telah mengalami satu kerugian sebanyak RM620 juta. Kalau duit ini dapat dijimatkan, setiap orang anak yatim piatu ini seramai 5,173 orang ini, setiap orang boleh mendapat RM120,000 setiap tahun. Jadi saya berharap kerajaan ini akan terus memberi sokongan khasnya daripada aspek pendidikan untuk golongan ini. Isu kedua yang hendak sentuh adalah tentang kerakyatan. Tuan Yang di-Pertua pada 4 November, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kerakyatan seorang remaja yang berumur 16 tahun walaupun bapanya adalah seorang warga Malaysia. Yang Arif Hakim menolak permohonan tersebut kerana bapanya tidak mendaftarkan perkahwinannya dengan isteri yang berasal daripada Indonesia. Akan tetapi pada 25 Oktober, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan kerakyatan bagi seorang kanak-kanak perempuan yang berumur lima tahun. Sebenarnya untuk kedua-dua kes ini faktanya adalah tidak lebih kurang sama. Kedua-duanya dilahirkan di Malaysia. Dalam kedua-dua ini, kes ayah mereka adalah warga Malaysia. Dalam kedua-dua kes ini juga, ibu mereka adalah warga asing dan sebelum kelahiran mereka, perkahwinan itu tidak didaftar. Akan tetapi kita nampak bahawa Mahkamah Shah Alam dan juga Mahkamah Tinggi Ipoh nampaknya ada keputusan yang bercanggah. Tuan Yang di-Pertua, saya rasa sudah tiba masa untuk kami mengkaji semula Perlembagaan Persekutuan untuk mencari satu penyelesaian untuk golongan ini. Sudah beberapa kali, sudah banyak kali saya dan juga ramai Ahli Parlimen sama ada daripada pembangkang ataupun di bahagian sana merayu kerajaan untuk mencari satu penyelesaian untuk golongan ini.
Ya, betul adalah kesilapan ayah mereka, kenapa tidak daftarkan perkahwinan mereka. Akan tetapi, kenapa kami hendak hukum anak-anak yang tidak berdosa ini? Jangan kita lupa, hanya tiga buah negara di dunia ini yang tidak mengiktiraf hak bapa untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak mereka yang lahir di luar perkahwinan. Amat menyedihkan Malaysia merupakan salah satu negara tersebut. Jadi, saya harap apabila KDN janji untuk membuat kajian terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan bahawa wanita Malaysia yang melahirkan bayi mereka di luar negara boleh mendapatkan kerakyatan, saya hendak tahu apa perkembangan terkini, sama ada memang sudah dapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja? Saya juga hendak tahu sama ada kita boleh capai satu penyelesaian yang menyeluruh untuk memastikan bahawa hak asasi kedua-dua golongan wanita dan juga lelaki dapat dipertahankan dan anak mereka tidak akan jadi mangsa lagi. Isu ketiga yang saya hendak sentuh pada hari ini adalah tentang PRN Melaka. Kami tahu bahawa ada dua orang Yang Berhormat Timbalan Menteri yang bertanding di PRN Melaka. Salah satu adalah Yang Berhormat Timbalan Menteri MITI, Yang Berhormat Senator Datuk Lim Ban Hong dan satu lagi adalah Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Yang Berhormat Masjid Tanah. Saya tidak ada halangan untuk mereka bertanding kerana ini adalah hak mereka. Akan tetapi, saya hendak tanya apabila mereka sibuk berkempen di Melaka, sama ada mereka sudah pohon cuti daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri? Saya hendak tahu, sama ada sekarang mereka berkempen di Melaka dengan masih terima gaji daripada kementerian masing-masing ataupun cuti mereka, sudah dibuat permohonan untuk cuti dan cuti itu telah diluluskan? Kalau sekarang mereka telah ambil cuti dan pohon cuti, saya hendak tahu sama ada cuti ini adalah tanpa gaji, cuti separuh gaji ataupun cuti yang penuh gaji? Saya rasa ini adalah satu hakikat dan satu fakta yang perlulah dijelaskan oleh mereka sendiri untuk semua pengundi Melaka. Saya tidak ada masalah untuk mereka mengambil bahagian
dalam PRN Melaka dan tidak ada masalah untuk mereka berkempen untuk mereka sendiri. Akan tetapi, saya rasa sebagai pembayar cukai, kami berhak tahu sama ada sekarang mereka masih menerima gaji sebagai Yang Berhormat Timbalan Menteri, walaupun mereka sibuk berkempen di Melaka dan tidak ada masa untuk urusan kementerian mereka. Isu yang seterusnya. Saya juga hendak sentuh beberapa isu yang telah dijanjikan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dalam ucapan beliau. Dalam ucapan beliau, Yang Berhormat Menteri Kewangan berjanji bahawa Bantuan Awal Persekolahan akan dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 bagi memanfaatkan 3 juta orang murid. Jadi, untuk tujuan tersebut, sepatutnya KPM dapat peruntukan untuk Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM450 juta. Akan tetapi, apabila kita tengok Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, dalam buku ini, peruntukan yang disebut hanyalah RM300 juta. Jadi, saya hendak tanya, di manakah baki RM150 juta tersebut? Bukan itu sahaja, Yang Berhormat Menteri Kewangan juga sebut bahawa RM400 juta akan disediakan untuk memberi makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan dan juga susu harian untuk murid-murid B40. Akan tetapi, sekali lagi, laman Anggaran Perbelanjaan Persekutuan ini [Merujuk kepada senaskhah buku] , peruntukan yang disebut di bawah Butiran– Rancangan Makanan Tambahan, hanyalah RM299 juta. Di manakah baki RM101 juta tersebut? Dalam ucapan beliau, juga disebut bahawa ada satu insentif khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih kurang 400 ribu orang guru di bawah KPM. Akan tetapi apa yang tidak disebut oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dalam ucapan dia adalah, Biasiswa Perguruan Persekutuan yang pada tahun yang lalu, menerima peruntukan sebanyak RM70 juta, pada tahun 2019, 2020 dan juga tahun ini. Akan tetapi, biasiswa ini untuk tahun depan sudah tidak ada lagi dan telah dimansuhkan. Jadi, saya hendak tanya, apabila kita hendak tunjuk penghargaan kami kepada golongan guru, kita cakap bahawa mereka telah memainkan peranan mereka dalam memastikan setiap anak murid tidak tercicir daripada mendapat pendidikan formal, semasa tempoh pandemik. Akan tetapi, kita beri mereka RM40 juta wang tunai (cash) tetapi di belakang, kami ambil RM70 juta daripada mereka yang mereka boleh pohon sebagai Biasiswa Perguruan Persekutuan. Ini satu reward ataupun ini satu hukuman? Saya rasa ini adalah satu perkara yang perlulah dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan kerana saya sokong apa-apa usaha Yang Berhormat Menteri Kewangan untuklah memberikan insentif kepada golongan guru kami. Akan tetapi, janganlah sampai tahap bahawa kita beri RM40 juta tetapi RM70 juta untuk biasiswa kita mansuhkan. Itu tidak wajar. Selain daripada itu, di dalam Belanjawan 2021, banyak peruntukan telah disediakan untuk KPM dengan satu tujuan yang sangat spesifik sepertilah Bantuan Sukan sebanyak RM23 juta, Bantuan Makanan Asrama sebanyak RM1.5 bilion, Rancangan Makanan Tambahan sebanyak RM299 juta, Bantuan Makanan Prasekolah sebanyak RM89 juta dan penyertaan pelajar di peringkat antarabangsa sebanyak RM1.8 juta. Akan tetapi, kami semua tahu bahawa , oleh sebab apa, oleh sebab pandemik COVID-19, banyak aktiviti tersebut itu tidak dapat dilancarkan dan tidak dapat dianjurkan. Bantuan Sukan, apa Bantuan Sukan yang kami cakap? Apabila aktiviti sukan telah dimansuhkan, semua budak PdPR di rumah sahaja. Apa Bantuan Makanan Asrama? Apabila murid-murid kami tidak mampu dan tidak sempat balik ke sekolah. Apa dan di manakah pergilah peruntukan Rancangan Makanan Tambahan apabila sepanjang tahun ini, budak-budak kita hanya balik sekolah tidak sampai 50 hari. Jadi, saya hendak tanya, untuk perkara-perkara yang saya sebutkan tadi, jumlahnya adalah hampir RM2 bilion. RM2 bilion dan ia satu jumlah yang cukup besar. Jadi, saya harap dan saya rasa KPM perlu ambil inisiatif untuk menjelaskan kepada kami, di manakah pergi peruntukan RM2 bilion ini kerana satu, bajet ini telah diluluskan dengan satu tujuan yang begitu spesifik. Jadi, rakyat jelata berhak tahu di mana pergi duit tersebut. Sekian sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Kulai. Seterusnya Yang Berhormat Parit. Silakan.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk turut serta membahaskan perbahasan Bajet 2022. Apa tidaknya, selepas hampir dua tahun negara kita terkesan akibat penularan wabak COVID-19, harapan untuk keluar daripada kemelut ini semakin menggunung. Justeru, saya melahirkan keyakinan bahawa Belanjawan 2022 dirangka dengan matlamat untuk melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian rakyat, membina semula daya ketahanan ekonomi dan memangkinkan pembaharuan sosioekonomi. Yang penting Bajet 2022 ini perlu sampai kepada golongan sasar. Tuan Yang di-Pertua, rakyat mahu meneruskan kelangsungan hidup dan ekonomi. Negara memerlukan daya saing yang mapan dan memulihkan ekonomi yang efektif. Dalam soal ini, saya ingin membangkitkan soal peluang pekerjaan. Ini adalah teras utama dalam mengembalikan punca pendapatan kepada isi rumah. Jaminan kerja sebanyak 600 ribu peluang pekerjaan adalah terlalu idealistik tetapi realistiknya adakah benar tawaran kerja itu menawarkan gaji yang setimpal dengan taraf pendidikan dan pengalaman? Sepanjang pandemik COVID-19, antara golongan paling teruk terjejas ialah M40. Jumlah M40 yang jatuh ke dalam kumpulan B40 ialah seramai 600 ribu isi rumah. Jadi, saya ingin bertanya kepada kerajaan. Apakah inisiatif yang telah pun dilakukan kepada kumpulan M40 ini seperti yang awal tadi saya bangkitkan dalam soal tawaran pekerjaan, penggajian dan pekerjaan yang benar-benar secocok? Saya juga hendak bertanya mengenai tawaran kerja secara kontrak melalui MySTEP adalah satu usaha yang dinamik. Sebanyak 80 ribu peluang pekerjaan ditawarkan dan saya melihat peluang-peluang di bawah MySTEP ini dapat membantu para belia dan lepasan graduan kita tidak akan menganggur.
Jadi, bolehkah kerajaan menawarkan gaji yang tinggi mengikut pendidikan dan pengalaman pemohon. Saya juga hendak mengesyorkan di bawah MySTEP ini walaupun tawaran kontrak itu sekadar setahun sahaja, bolehkah kerajaan menawarkan keyakinan dan harapan supaya mereka yang memohon diberikan peluang tawaran kontrak kerja ini disambung bagi tempoh lagi panjang atau diserap terus ke dalam sektor awam. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan soal pemilikan kediaman di bawah strategi membina kehidupan kondusif. Dari dahulu hingga sekarang pemilikan rumah ini senantiasa menjadi fokus kerajaan. Saya mengalu-alukan peruntukan RM1.5 bilion disediakan termasuk tiada cukai keuntungan hartanah bagi pelupusan harta selepas enam tahun. Cuma ada persoalan yang perlu diketengahkan. Saya ingin bertanya dalam keadaan semasa, bolehkah kerajaan menerusi PBT mengecualikan bayaran cukai pintu bagi pemilik kediaman sedia ada terutama bagi kumpulan M40 bermula pada tahun depan? Bolehkah pelaksanaan moratorium bagi pemilikan kediaman diteruskan bagi tempoh enam bulan lagi, bermula Januari 2022 kerana ia sangat membantu kepada pemilik kediaman sedia ada bagi mereka yang kehilangan pekerjaan. Saya juga hendak mencadangkan Program Perumahan Penjawat Awam, hendak ditawarkan penjualan kuarters kepada mereka dengan harga yang patut dan bukan mengikut pasaran semasa dalam usaha memastikan setiap penjawat awam mempunyai kediaman sendiri. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh soal pendidikan berkualiti. Semua yang diberikan peruntukkan sebanyak RM52.6 bilion pada Bajet 2022 pada kali ini. Terima
kasih kepada kerajaan, kepada guru-guru yang telah tabah, sabar, walaupun tidak banyak iaitu RM100 bagi Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali dibayar. Namun ia menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada guru-guru kita yang kita kasihi. Saya berharap insentif sebegini akan diberikan lebih...
Yang Berhormat Parit. Jerai?
Tunggulah sedikit lagi, ya. Saya berharap insentif sebegini akan diberikan lebih banyak di bawah pakej-pakej rangsangan negara selepas daripada ini. Mengenai Bantuan Awal Persekolahan, saya merasakan perlu ada penyelarasan yang baik antara guru, sekolah dan PIBG. Ini kerana ada yang bertindih dan sebagainya. Dalam hal yang sama, dimaklumkan mereka yang Mendapat Bantuan Awal Persekolahan adalah daripada keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Bagaimana pula dengan M40 yang terjejas teruk termasuk kehilangan pekerjaan dan separuh gaji mereka dipotong? Mohon penjelasan. Di samping itu, saya juga melihat Bajet 2022 sewajarnya turut memberi tumpuan kepada penyediaan kelengkapan kemudahan pembelajaran digital secara menyeluruh dengan mengambil kira pengoperasian sekolah yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian bagaimana lonjakan bagi memperkasakan pendidikan digital? Dalam kesempatan ini sekali lagi dan berkali nya saya ingin mohon kepada kerajaan khususnya kementerian untuk meluluskan pembinaan sekolah menengah dan rendah yang baharu di Seri Iskandar dan juga bangunan baharu Pejabat Pendidikan di Daerah Perak Tengah. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh soal pendidikan tinggi di negara ini. Terima kasih di bawah peruntukan RM450 juta bagi PerantiSiswa Keluarga Malaysia sangat diperlukan bagi mahasiswa-mahasiswa kita di seluruh IPT. Ini termasuk juga peruntukan RM6.6 bilion bagi program pemerkasaan TVET sebagai melahirkan pelajar berkemahiran separa tinggi untuk pembangunan negara. Bagi lepasan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara yang sebenarnya di bawah Kementerian Belia dan Sukan, kursus yang ditawarkan kepada mereka ini adalah sijil lanjutan diploma. Jadi, saya ingin bertanya sejauh manakah peluang dan syarat graduan IKTBN ini memasuki universiti awam di negara ini bagi melanjutkan pendidikan sehingga ke peringkat sarjana muda? Mohon penjelasan. Di institusi pendidikan ini pun mesti ada faktor wow untuk belajar, seperti di sesetengah kolej komuniti. Lokasi mereka terletak di kawasan mungkin di deretan kedai yang kadang-kadang tidak kondusif, sesak dengan kenderaan, keselamatan tidak terjamin dan kawasan persekitaran yang kotor. Jadi, saya mohon kementerian mengambil berat dan mohon penjelasan. Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, isu kesihatan. Malaysia dikenali sebagai negara yang mempunyai sistem kesihatan yang baik. Malah kita juga mempunyai sektor pelancongan kesihatan yang terbaik di rantau ini. Dalam pada itu, masih terdapat rakyat yang tidak mempunyai akses yang baik terhadap sistem ini terutama golongan yang berpendapatan rendah. Berapa peratus B40 yang telah mendaftar dan menerima kemudahan PeKa B40 dan mySalam ini? Suka untuk saya menekan akan komitmen berterusan oleh kerajaan untuk meneliti dan memperhalus semula pembinaan kerja-kerja menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara bagi mencapai matlamat, merapatkan jurang perbezaan fasiliti atau kemudahan kesihatan bandar dan juga luar bandar. Oleh yang demikian, saya ingin memohon kepada pihak kementerian dan kerajaan untuk membina sebuah klinik kesihatan baharu di pekan Parit yang mana keadaannya sekarang adalah sangat lama dan tidak begitu selesa. Dengan kewujudan sebuah klinik kesihatan baharu di Parit ini, boleh disifatkan sebagai suatu keperluan prioriti yang perlu diberikan perhatian khususnya oleh kerajaan dan juga Kementerian Kesihatan. Tuan Yang di-Pertua, kajian Indeks Budaya Sukan Malaysia 2019 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menunjukkan bahawa tahap budaya sukan rakyat Malaysia masih berada di tahap yang sederhana. Dengan skor yang dicatatkan hanya sekitar 58.8 peratus. Ditambah dengan situasi pandemik COVID-19 yang merencatkan segala aktiviti sosial dan rekreasi rakyat Malaysia. Tahap pembudayaan
sukan ini sebenarnya masih memerlukan satu dorongan yang padu daripada pihak kerajaan. Oleh yang demikian saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai komitmen pihak kerajaan melaksanakan libat urus secara konsisten bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin komuniti dalam memastikan pembangunan fasiliti sukan dan kawasan rekreasi baharu dibuat berdasarkan keperluan komuniti setempat. Saya juga ingin mohon agar dipertimbangkan pembinaan kompleks sukan Seri Iskandar bagi Parlimen Parit di dalam daerah Perak Tengah yang kita sifatkan sebagai satu keperluan kepada masyarakat setempat terutamanya para belia dan juga luar bandar khususnya di dalam kawasan Parlimen Parit. Saya akan terus memohon dan bercakap khususnya dalam Dewan ini tentang keperluan-keperluan infrastruktur, khususnya yang berada di dalam kawasan saya. Tuan Yang di-Pertua, saya juga terpanggil dengan laporan akhbar mingguan yang mendedahkan Melayu dan bumiputera adalah pencarum paling ramai mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000. Ini data setakat 30 September 2021. Saya hendak bertanya apakah solusi KWSP untuk membantu pencarum yang kurang daripada RM10,000. Janganlah pula program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra menampakkan seolah- olah pencarum bersalah pula. Itu wang mereka dan mereka ada hak untuk menyelamatkan dan memastikan kocek mereka berisi. Apa pun terima kasih kepada kerajaan dan KWSP yang membenarkan dan membantu pencarum. Namun kita tidak boleh menabik dada semata-mata. Saya hendak cadangan duit yang berbaki dalam kalangan pencarum yang kurang daripada RM10,000 yang sudah tentunya daripada akaun 1 KWSP boleh melaburkan wang pencarum dengan kebenaran dalam dana pelaburan mutual. Saya juga hendak cadangkan mana-mana pencarum yang mempunyai lebih daripada RM100,000 dari Akaun 1 diberikan kemudahan pengeluaran one-off sebanyak RM10,000 ke atas. Perkara ini penting sebagai membantu golongan sasar yang sangat memerlukan, terutama pencarum M40.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan soal pemuliharaan sungai di negara kita. Yang bukan sahaja memastikan keselamatan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai, tetapi boleh membantu dari aspek ekonomi, pelancongan, peningkatan sosioekonomi. Saya ingin bertanya, setakat mana pelaksanaan proses pemuliharaan sungai-sungai di negara ini, terutamanya di Sungai Perak, apatah lagi di dalam kawasan Parlimen Parit saya, ada Sungai Perak. Jadi, saya juga hendak tahu sejauh manakah serius hakisan sungai yang berlaku di negara ini dan apakah bentuk-bentuk perancangan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan. Kita juga mempunyai banyak sungai dan sungai kita ini sangat berpotensi, pelbagai agenda seperti Sungai Perak, adanya Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Perak bukan sahaja bertujuan mengindahkan kawasan sekitar sungai untuk menjana pertumbuhan ekonomi, malah memastikan lokasi tersebut tidak menjadi tempat pembuangan sampah. Jadi, saya ingin bertanya— saya ingin tahu, adakah perkara yang sama dilaksanakan di sungai-sungai di seluruh negara kita termasuklah juga di Sungai Perak. Oleh sebab masa terhad, dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan, terima kasih. Parit mohon menyokong.
Yang Berhormat Parit. Jerai ingin minta penjelasan.
Sekejap.
Tadi ada disebutkan tentang RM100 untuk guru-guru dari segi bantuan. Alat bantu mengajar. Setujukah Yang Berhormat Parit, kita naikkan sehingga RM300 untuk guru-guru? PdPR.
Terima kasih Yang Berhormat Jerai. Kerajaan perlu untuk menimbang dan juga memberikan perhatian oleh sebab guru-guru kita inilah sebenarnya mereka dapat melahirkan anak-anak, ataupun murid ataupun
pelajar yang mampu sebagai generasi yang mempunyai ilmu pengetahuan. Justeru itu, saya juga menyokong jika sekiranya ada keperluan-keperluan dan asasnya untuk kita bantu guru-guru Malaysia kita untuk mereka mempunyai motivasi dan semangat untuk terus mendidik. Jadi Parit mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Parit.
Terima kasih Yang Berhormat Parit. Seterusnya Yang Berhormat Shah Alam. Silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Bismillahi Rahmani Rahim. [Berselawat] Pada mulanya saya ingin ucapkan tahniah atas kesediaan kerajaan untuk melakukan libat urus dengan Pakatan Harapan dalam merangka Belanjawan 2022. Walaupun tidak semua cadangan kami diterima, dan yang diterima pun bukan kesemuanya, namun ia amalan yang baik dan perlu dipuji dan diteruskan. Aspek membantu memerangi COVID-19, ada. Aspek membantu mangsa pandemik sama ada dari sudut peribadi, mahupun perniagaan, ada. Hanya mungkin aspek pelaksanaan dan strategi membangunkan ekonomi kurang jelas dan perlu diperjelaskan. Bajet terbesar, ramai yang terliur. Kawalan semasa pelaksanaan mesti diutamakan. Namun begitu, pilihan pembahas pertama backbenchers yang mewakili kerajaan amat mengecewakan. Rosak semua. Tidak ada orang lain? Ia bagaikan menzahirkan ketidaksungguhan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Bera apabila Yang Berhormat Pekan dijadikan poster boy Barisan Nasional bagi Bajet 2022. Namun, ia tidak menghairankan. Ini berlaku kerana ‘Bapa Lockdown’ yang digelar oleh Yang Berhormat Pekan sendiri terhadap Yang Berhormat Pagoh, Bapa Lockdown dan Bapa Kleptokrat bersama dalam satu kerajaan iaitu ‘Kerajaan 69’. Pada zaman pandemik yang merosakkan ekonomi negara sehingga pendapatan merudum dan kepesatan pembangunan negara terjejas teruk sehingga hutang baharu terpaksa diambil untuk membayar hutang lama, kepimpinan yang telus, jujur dan amanah adalah teramat sangat diperlukan untuk mengelakkan pembaziran, penyelewengan dan ketirisan. Ini soal pelaksanaan. Malangnya, dengan dipilih Yang Berhormat Pekan sebagai jurucakap pertama kerajaan, maka harapan kami bahawa Belanjawan ini akan dilaksanakan dengan kawalan yang ketat, pemantauan yang terperinci hancur menjadi bagaikan debu. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Yang Amat Berhormat Bera menganggap tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh Yang Berhormat Pekan dan isu 1MDB adalah perkara biasa. Saya yakin itulah juga persepsi rakyat dan pelabur sama ada tempatan atau luar negara terhadap kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sekarang. Mungkin, inilah strategi di sebalik pembentukan Digital Nasional Berhad (DNB) yang disebut oleh Yang Berhormat Kubang Pasu tadi. Pasti semua bertepuk dahi dengan mengatakan Kerajaan BN telah kembali dengan budaya kleptokrasinya. Hakikat bahawa tahun ini telah melihat pembaziran dan ketirisan yang besar seperti ubah suai pejabat Perdana Menteri dan pejabat Menteri-menteri yang menelan belanja beratus juta serta laporan Ketua Audit Negara berhubung ketirisan sebanyak lebih RM600 juta amat sesuai dengan imej Yang Berhormat Pekan sebagai pembahas pertama bagi pihak backbenchers. Maka berkatalah mereka yang suka berkata dengan izin, it’s business as usual, folks for Barisan Nasional and Perikatan Nasional. Pakatan Harapan akan menentang segala amalan rasuah, membazir dan ketirisan melalui institusi Parlimen dan reform Parlimen yang kita perjuangkan. Pembudayaan Jawatankuasa Pilihan akan dituntut seperti mana dijanjikan melalui Memorandum of Understanding (MOU) sehingga seboleh-bolehnya setiap sen yang dibelanjakan akan diperhalusi.
Ini adalah kerana wang rakyat mesti dibelanjakan dengan betul. Kita nak harapkan siapa lagi, kalau bukan Pakatan Harapan? UMNO, BN sudah tentu tidak boleh diharap dalam soal ini. Mereka masyhur dengan kleptokrasi. Perikatan Nasional yang mengasaskan kerajaan melalui sogokan jawatan dan kedudukan sehingga memulakan budaya Kabinet saiz 3XL dan jawatan setaraf Menteri juga tidak boleh diharap, walaupun parti yang mendakwa memperjuangkan Islam bersamanya. Ini kerana rasuah, pembaziran dan penyelewengan. Bukan soal hudud dan oleh itu tidak sepenting persoalan ‘Timah’ dan juga penjualan arak yang mereka sentiasa menjuarai, walaupun jualan ini terkawal hanya untuk bukan Islam. Kefahaman Islam songsang sebegini melihat pembelian kereta-kereta Mercedes untuk exco kerajaan mereka kerana yang penting, hanya yang terletak di bawah hukum hudud. Pembaziran bukan di bawah hukum hudud maka rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, pembaziran, sokong golongan khianat, lompat parti, semua itu okey. Lebih- lebih lagi kalau dibuat atas nama Melayu Islam. Saya nak sentuh juga soal Keluarga Malaysia yang turut disentuh di dalam Belanjawan 2022. Bagus. Ini adalah konsep yang perlu diperjuangkan tetapi jangan hanya semasa kita jadi kerajaan. Bila jadi kerajaan, fuh Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia. Apabila jadi pembangkang, api perkauman dibakar sesuka hati. [Tepuk] Paling saya kesal ialah apabila kematian Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd Kassim dipolitikkan. Apabila semua agensi sudah kata tiada bukti kukuh telah berlaku pembunuhan, maka dituduh Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu sebagai membela golongan bukan Melayu dan melindungi pembunuh Melayu. Pakatan Harapan dikuasai bukan Melayu, bukan Islam.
Kamu sanggup memperalatkan satu peristiwa tragis untuk kepentingan politik kamu. Ini kerana yang mati itu Melayu dan yang kononnya membunuhnya adalah orang- orang India maka dilaungkan cogan kata “Ketuanan Melayu" dan “Dominasi Melayu" pada ketika itu. Pada ketika itu, mana perginya cogan kata “Keluarga Malaysia”? Baguslah kalau kamu hendak terus mencari bukti sehingga dikenali siapa sebenar pembunuh Adib, kalau benar dia dibunuh. Akan tetapi saya hendak tanya kenapa kamu tidak ambil kisah sedikit pun mengenai mereka yang mati dalam tahanan, yang jumlahnya sudah melebihi puluhan yang mana sepatutnya mereka berada di bawah jagaan anggota polis dan selamat dari penderaan dan penganiayaan. Akan tetapi sebaliknya mati di bawah jagaan kerajaan. Kamu tidak kisah kerana kebanyakan mereka adalah bukan Melayu, mungkin. Ini kerana ramai mereka keturunan India, mungkin, kerana mereka dianggap samseng, adakah itu yang didakwa perjuangan Islam kamu? Begitu juga dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang dibunuh oleh anggota polis. Ini bukan cerita reka-reka. UTK, kalau tidak salah saya. Sedangkan mereka tidak kenal Altantuya, tiada motif untuk membunuhnya. Akan tetapi anggota polis dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati. Azizul dipenjarakan menunggu untuk dijatuhkan hukuman sambil Sirul lari ke Australia. Pendakwa raya pada masa itu memfatwakan motif tidak penting dan tidak perlu ditanya siapa yang mengarah mereka membunuh Altantuya dan meletupkan mayatnya dengan bom C-4. Dapat C-4 dari mana? Kedai runcit? Tak jual. Kenapa kamu tidak berminat nak siasat? Kerana nak lindungi pihak yang mengarahkan pembunuhan itu? Kerana kemungkinan dia pembesar Melayu Islam.
Yang Berhormat.
Dulu, dah tiga minit sahaja tinggal. Sorry. Dulu, lama-lama dulu ada seorang alim yang bernama Tok Guru Nik Aziz, Almarhum yang telah bangun mengingatkan umat Islam bangsa Melayu, jangan terikut- ikut sangat dengan parti chauvinisme ini, iaitu UMNO kerana sikap perkauman cauvinis, asabiyyah ditolak Islam. Hadis [Membaca sepotong hadis] , “Bukan daripada golongan kami mereka yang menyeru atas dasar asabiyyah,bukan daripada golongan kami mereka yang berjuang atas dasar asabiyyah, bukan daripada golongan kami mereka yang mati atas dasar asabiyyah” diulangi merata-rata.
Beliau sering ulangi kami semua dari Adam AS, satu keluarga. Pada zaman itu alhamdulillah, ada usaha hendak selamatkan umat Islam bangsa Melayu dari politik perkauman serta chauvinisme dan parti yang mengusahakan itu memang kelihatan ciri- ciri Islam padanya. Sehingga dilaungkan parti tersebut sebagai for all, selari konsep rahmatan lil ‘alamin. Sekarang ini malangnya nama sahaja yang tinggal, telah tenggelam ditelan arus chauvinisme Melayu Islam dan kini mereka yang dahulunya tidak sealiran sekarang sudah sealiran dengan UMNO. Begitu juga Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor yang menyeru kaumnya, [Berucap dalam bahasa Arab]. “Dan jangan kamu cenderung dan condong pada kezaliman, kepada yang zalim nescaya kamu akan disambar api neraka.” Jangan kamu cenderung dan condong pada yang zalim, nescaya kamu akan disambar api neraka. Semua itu tenggelam dalam retorik ketuanan Melayu Islam yang dibawa sekarang. Orang yang zalim tetapi beragama Islam dikatakan akan tetap masuk syurga kata mereka. Maka sejuklah hati-hati para yang zalim. Ini membawa saya kepada poin terakhir iaitu Pilihan Raya Negeri Melaka. Saya tergelak mengenai dakwaan pimpinan UMNO supaya rakyat Melaka tolak pengkhianat. Amboi, tegasnya sedangkan di peringkat nasional, mereka sekatil dengan golongan pengkhianat. Khianat is good apabila lawan yang dikhianati. Kalau UMNO sendiri yang dikhianati, maka jangan sokong. Hina, katak dan sebagainya. Ada yang kata, alah PH pun bersama katak di Melaka. Eh, maaf ya. Mereka berdua bukan katak, mereka dipecat UMNO kerana tak sokong Ketua Menteri yang UMNO lantik. Mereka bukan lompat, katak adalah yang lompat. Apabila UMNO dan PAS bertanding, pasti isu yang dibawa adalah DAP musuh Melayu, musuh Islam. Last point ya. Tolak yang bersama DAP. Ini konsep Keluarga Malaysia, Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan politik matang mereka, huh. Saya hendak jawab cara bodoh sahaja terhadap pembohongan bodoh ini. Berapa ramai bangsa Melayu telah berhijrah ke luar Selangor dan lari ke Kelantan atau Terengganu yang kononnya Islamik sangat sejak PR yang sekarang PH memerintah. Atau berhijrah lari ke Melaka atau Johor yang di bawah UMNO. Kalau lebih ramai dari Kelantan dan Terengganu atau dari Melaka dan Johor yang berada di Selangor berbanding yang dari Selangor di negeri-negeri ini, I rest my case. Janganlah terus membohongi rakyat Melayu. Mereka tiada isu hendak dibawa kecuali memomok-momokkan orang Melayu Islam sehingga wujudnya paranoia dan Melayu Islam menjadi umat yang takut pada bayang-bayang sendiri. Saya hendak syorkan kepada umat Melayu Islam, tolak parti-parti oportunis yang tiada wawasan mahupun hala tuju yang jelas untuk membangunkan bangsa dan negara dan bersama lah dengan PH ke arah masa depan yang semakin cemerlang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. [Ketawa]
Steady Yang Berhormat Shah Alam.
Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Seterusnya Yang Berhormat Libaran. Kempen. Dekat Melaka tak boleh kempen.
Datuk Zakaria bin Mohd. Edris @ Tubau [Libaran] Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Libaran untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2022 di peringkat dasar. Selamat petang dan salam sejahtera kepada rakan-rakan di Dewan yang mulia ini. Saya sangat berterima kasih Bajet 2022 yang membawa tema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” dan saya anggap ini suatu gagasan membawa Malaysia keluar daripada COVID-19. Alhamdulillah dan mengharungi fasa pemulihan pasca COVID-19. Maka Bajet 2022 ini dengan peruntukan negeri Sabah kepada RM5.2 bilion untuk kemudahan asas infrastruktur, air dan elektrik juga pembangunan kemudahan
pendidikan dan kesihatan yang saya anggap ini ternyata untuk menyaksikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan-keperluan rakyat di negeri Sabah. Saya turut juga merakamkan penghargaan usaha kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar bagi Sabah dan Sarawak, alhamdulillah serta projek infrastruktur bernilai RM3.5 bilion untuk Lebuhraya Pan Borneo. Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan belanjawan yang telah diperuntukkan untuk bangunan-bangunan sekolah daif dan saya ingin meraih perhatian kerajaan supaya dana tersebut merangkumi sekolah-sekolah daif di Parlimen Libaran. Saya ingin bertanya berapakah yang diperuntukkan peruntukan ini untuk kawasan di Parlimen Libaran?
Selain daripada itu, saya ingin memfokuskan kepada sekolah-sekolah yang sangat memerlukan seperti Sekolah Kebangsaan Kuala Gum-Gum Kecil, Sekolah Kebangsaan Batu 25 Kampung Pertanian, Sekolah Kebangsaan Pulau Libaran yang jauh nun di sana, di pulau. Sekolah Kebangsaan Pulau Nunuyan juga dan Sekolah Kebangsaan Sungai Manila. Oleh kerana masih banyak lagi terdapat sekolah-sekolah daif di kawasan luar bandar ini, supaya diberi perhatian dan tumpuan yang penuh untuk mereka mendapatkan peruntukan demi untuk kesejahteraan anak-anak. Sekolah dan rakyat di kawasan Libaran. Tuan Yang di-Pertua, dalam konteks memperkasakan isu keselamatan pula. Saya ingin minta jasa baik Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya dapat membina satu buah pondok polis di Pulau Nunuyan serta naik taraf bit polis di Pulau Libaran. Selain daripada memohon kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya memberi pertimbangan untuk membina satu buah balai bomba dan penyelamat memandangkan balai bomba yang terdekat dikira jauh dan tidak efektif dengan menyelamatkan harta benda dan nyawa bila kebakaran berlaku. Saya tahu bahawa bila saya di kawasan beberapa tahun yang lalu banyak kebakaran yang berlaku di kawasan ini, tidak boleh diselamatkan harta benda ini yang terbakar kerana jauh daripada perkhidmatan bomba yang ada. Jadi, saya mohon kepada kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, saya beralih kepada pandemik COVID-19 yang membolehkan kita juga menyedari betapa pentingnya internet untuk kehidupan harian kita dan kerajaan juga melalui Bajet 2022 ini, telah memperuntukkan RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sedia ada. Saya ingin bertanya kepada kerajaan bahawa adakah PPR di Parlimen Libaran termasuk dalam senarai ini juga? Kemudahan tersebut supaya saya harap akan diberi perhatian yang sepenuhnya untuk kemudahan rakyat di kawasan ini. Walau apa pun, saya ingin menyeru juga kepada kerajaan supaya memberi tumpuan dan fokus kepada pembaikan serta penyelenggaraan infrastruktur komunikasi di kawasan pedalaman Sabah. Hal yang sedemikian bukan untuk manfaat orang-orang perseorangan yang saya difahamkan malah untuk manfaat kepada kanak-kanak sekolah serta rakyat Sabah supaya tidak ketinggalan, tidak terpinggir daripada arus pembangunan yang ada sekarang. Di sini, saya ada beberapa juga isu yang berkaitan dengan kesihatan awam. Saya ingin menarik perhatian Kementerian Kesihatan. Pertama sekali ialah saya mohon naik taraf Klinik Kesihatan Batu 10 yang sempit selain ruang rawatan pesakit luar dan rawatan ibu dan kanak-kanak yang telah diasingkan. Untuk makluman bahawa permohonan ini pernah juga dibuat pada tahun 2015 semasa lawatan KSU KKM di kawasan tersebut. Kedua ialah naik taraf Klinik Kesihatan Ulu Dusun yang pada masa kini bahan dari jenis bangunan ialah bangunan kayu yang sangat usang. Saya mohon untuk dinaiktarafkan ke bangunan berbata. Permohonan ini juga dibuat semasa lawatan KSU KKM pada tahun 2015. Sudah memakan masa hampir enam tahun sehingga hari ini dan ini belum ada dapat khabar berita daripada kementerian untuk mengambil tindakan.
Dalam bajet RMKe-12 ini, saya mengharapkan supaya pihak kementerian dapat mempertimbangkan, juga dapat meluluskan untuk pembaikan ataupun penaiktarafan klinik-klinik yang saya sebutkan tadi untuk kepentingan rakyat di kawasan Libaran ini dan mereka sangat memerlukan. Sebagai wakil rakyat, saya bertanggungjawab supaya dapat memohon kepada kerajaan yang ada sekarang untuk keselesaan rakyat. Ketiga, naik taraf Klinik Komuniti PPR Taman Murni. Untuk makluman, klinik komuniti ini hanya merawat kes ringan pesakit luar dan pesakit kronik sahaja. Justeru, ibu- ibu mengandung dan kanak-kanak yang berdekatan perlu juga mendapatkan perkhidmatan di klinik desa iaitu Klinik Desa Batu 7 yang sempit sehingga mewujudkan kesesakan. Mohon juga kelulusan projek Klinik Kesihatan Sungai Batang dan Klinik Kesihatan Sungai Manila. Semoga projek ini dapat diluluskan dalam RMKe-12 ini. Tuan Yang di-Pertua, menyentuh tentang infrastruktur awam demi kesejahteraan rakyat. Saya ingin menarik perhatian kerajaan pusat supaya dapat membuat pengurusan dan pencegahan banjir yang terkesan di beberapa buah kawasan yang sering dilanda banjir iaitu Sungai Memanjang, Sungai Gum-Gum, Taman Fajar dan Taman Rajawali di DUN Sungai Sibuga. Selain daripada itu, saya menyambut baik peruntukan pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak bagi Bajet 2022 dalam konteks pembangunan kesedaran rakyat. Saya turut meminta jasa baik kerajaan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) supaya dapat menghulurkan peruntukan bantuan membaiki rumah-rumah usang kepada golongan miskin dan orang-orang kampung yang sangat juga memerlukan di kawasan ini. Saya juga ingin minta supaya beberapa buah jeti demi kemudahan penduduk kampung serta masyarakat setempat serta kemudahan untuk nelayan memproses atau mengangkut hasil tangkapan mereka dari laut. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri perbahasan saya pada petang ini sesungguhnya secara keseluruhan Bajet 2022 ini yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' yang bernilai RM332.1 bilion ini merupakan satu jumlah yang besar. Alhamdulillah kita terima dengan hati yang terbuka dan baik. Bajet ini juga bukan sahaja memainkan peranan untuk pemulihan semua sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 malah juga pelbagai strategi dan inisiatif yang dirancang bertujuan menyejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan. Dengan ini Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong. Masa untuk saya. Saya ikut peraturan yang telah diberi untuk saya berucap, membahaskan ucapan pada petang ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Libaran. Sebelum kita sambung, saya sudah buat kira-kira sedikit. Saya rasa hari ini kita cuma sempat sehingga Yang Berhormat Kuala Kedah. Jadi Yang Berhormat Klang, Yang Berhormat Sepang, Yang Berhormat Padang Serai dan Yang Berhormat Ipoh Timur terpaksa kita ambil esok insya-Allah. Seterusnya Yang Berhormat Sepanggar.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bagi memulakan perbahasan saya pada hari ini, suka saya merujuk kepada lawatan rasmi kali pertama Yang Amat Berhormat Bera sebagai Perdana Menteri ke Sabah pada 5 November yang lepas. Sebagaimana Perdana Menteri sebelum ini berjanji, maka Perdana Menteri yang baru ini tidak ketinggalan juga ingin berjanji bahawa akan mengeluarkan Sabah daripada belenggu kemiskinan dan kenyataan ini juga sekali gus membuktikan bahawa isu mengenai rakyat Sabah miskin bukan lagi andaian tetapi suatu realiti bagi negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi nya.
Namun, isu kemiskinan di Sabah bukanlah isu yang baru. Janji-janji yang diberikan pimpinan Persekutuan selama ini ke Sabah juga telah berlarutan selama puluhan tahun. Tuan Yang di-Pertua, menyentuh mengenai peruntukan belanjawan tahunan pada Sabah, ada pemimpin utama kerajaan di Sabah yang menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM5.2 bilion yang diperuntukkan pada Sabah merupakan berita baik buat rakyat negeri Sabah. Namun tidak kurang juga ada segelintir pemimpin kerajaan yang ada di Sabah yang menyatakan kekesalan mereka terhadap peruntukan yang diberikan pada Sabah kerana masih tidak menunaikan desakan demi desakan agar peruntukan yang adil sewajarnya diberikan pada Sabah. Bagi pemimpin utama di Sabah, berita baik apa yang perlu rakyat Sabah mahu gembira dengan belanjawan ini? Tahukah beliau bahawa peruntukan yang diberikan pada Sabah tidak selari dengan sumbangan KDNK Sabah terhadap negara. Saban tahun setiap kali peruntukan yang diberikan pada Sabah, ia tidak pernah mencapai sasaran peruntukan pelaksanaan 100 peratus malah sering di carry forward pada tahun-tahun berikutnya. Mari kita lihat bukti helah muslihat dan pembohongan Putrajaya terhadap peruntukan untuk wilayah Sabah. Pertama, semalam entah mengapa secara tiba-tiba Kementerian Kewangan mengeluarkan satu siaran media berkenaan peruntukan pada Sabah dan Sarawak. Adakah pengumuman ini kerana faktor pilihan raya Sarawak sudah tidak lama lagi? Disebabkan bahawa kononnya Sabah dan Sarawak telah diperuntukkan lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan. Tuan Yang di-Pertua, helah muslihat apa lagi yang ingin dibuat. Cuba kita kira. Daripada RM75.6 bilion yang diperuntukkan dalam peruntukan pembangunan, Sabah dan Sarawak menerima RM9.83 bilion atau hanya 13 peratus. Kalaupun ditambah dengan Pan Borneo RM2 bilion, ia baru 15.6 peratus. Jadi, dari mana datangnya lebih 20 peratus yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan. Diharap Kementerian Kewangan dapat memberikan penjelasan terhadap kenyataan media ini. Kedua Tuan Yang di-Pertua, kalau dilihat dalam pecahan bajet tahun 2019 hingga tahun 2022, tahun 2019 Sabah menerima RM5 bilion daripada RM54.7 bilion jumlah perbelanjaan pembangunan atau 9.1 peratus. Tahun berikutnya RM5.2 bilion daripada RM56 bilion perbelanjaan pembangunan negara atau 9.3 peratus. Malangnya selepas Langkah Sheraton bermula dan kerajaan GRS yang tidur sebantal dengan Kerajaan Persekutuan mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah, hadiah pertama kepada rakyat Sabah adalah dengan menurunkan peruntukan pada Sabah daripada 9.3 peratus kepada 7.3 peratus yakni RM5.1 bilion daripada RM69 bilion perbelanjaan pembangunan negara dan belanjawan terbaru ini menurun lagi kepada hanya 6.8 peratus iaitu RM5.2 bilion daripada RM75.6 bilion perbelanjaan pembangunan. Bukan itu sahaja Tuan Yang di-Pertua. RM5.2 bilion yang diperuntukkan untuk Sabah pada tahun 2020, saya percaya tidak sampai 40 peratus pun peruntukan ini dibelanjakan malah mungkin kurang lagi. Saya buktikan dengan tiga projek asas di Sabah iaitu bekalan elektrik, bekalan air dan jalan raya. Bekalan elektrik luar bandar Sabah diperuntukkan RM216 juta tetapi hanya RM91 juta atau 42 peratus sahaja yang berjaya dibelanjakan. Jalan raya dan jambatan Sabah pula daripada RM494 juta, hanya 25 peratus atau RM127 juta sahaja yang dibelanjakan. Paling teruk dan menyedihkan Tuan Yang di-Pertua, RM350 juta diperuntukkan untuk bekalan air luar bandar Sabah, hanya 1.9 peratus atau RM6.7 juta sahaja yang dibelanjakan. Patutlah sehingga ke hari ini, bukan sahaja kawasan saya, Parlimen Sepanggar yang menghadapi masalah bekalan air, sudah lima bulan tidak ada air malah seluruh Sabah sehingga ke hari ini juga masih menghadapi masalah bekalan air. Manakah pergi duit peruntukan yang telah dibajetkan kepada kami di negeri Sabah dalam belanjawan yang lepas Tuan Yang di-Pertua? Ini satu perkara yang tidak boleh dan tidak dapat diterima sama sekali. Di manakah semua wang yang tidak habis dibelanjakan ini? Jika digunakan untuk pengurusan COVID-19, sewaktu COVID-19 melanda dunia sebelum wujudnya vaksin, test kit ujian COVID-19 pun Kerajaan Sabah
terpaksa beli sendiri kerana ketidakcukupan test kit yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Di manakah kedudukan Sabah dalam pencapaian vaksin? Tercorot. Di manakah kedudukan Sabah daripada segi infrastruktur kesihatan? Tercorot. Dalam pembentangan RMKe-12, 75 peratus projek Sabah gagal disiapkan semasa RMKe-11 dan di recycled dan dimasukkan dalam RMKe-12. Jadi mana duit yang telah dibajetkan pada Sabah tidak dapat digunakan? Sudahlah peruntukan tidak cukup, bentang bilion-bilion tetapi apabila sistem penyampaian kerajaan tidak efektif maka wang tidak sempat dibelanjakan dan pastinya wang itu masuk semula ke kantung Kerajaan Persekutuan. Contoh lain Tuan Yang di-Pertua. Bekalan air luar bandar Sabah sebelum COVID- 19 melanda dunia, tahun 2018 RM160 juta diperuntukkan dan hanya RM72 juta dibelanjakan. Tahun 2019, RM295 juta diumumkan, hanya RM2.9 juta sahaja dibelanjakan. Jadi, kalau beginilah patennya, sampai bilakah Sabah ini boleh dimajukan selaras atau setanding dengan negeri-negeri yang lain? Justeru itu Tuan Yang di-Pertua, strategi pengagihan peruntukan yang lapuk dan gagal segagalnya ini harus dihentikan. Saya bersetuju dengan saranan yang dibuat oleh Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri Sabah- Yang Berhormat Kinabatangan, kerajaan harus menukar strategi pembahagian peruntukan yang lapuk ini dengan memberikan autonomi sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk membelanjakan peruntukan yang diberikan. Oleh sebab “Yang Berhormat sanitizer” di Sabah puas hati dengan belanjawan ini, lebih baik Yang Berhormat Kinabatangan lead Kerajaan Negeri Sabah di masa akan datang. Tuan Yang di-Pertua, difahamkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turun ke Sabah baru-baru ini melalui pesawat rasmi Perdana Menteri di Lapangan Terbang Sandakan. Sepatutnya jika Perdana Menteri ingin merasa denyut nadi dan kesengsaraan rakyat Sabah, selain boleh membuat perbandingan akan beza lebuh raya di Semenanjung dengan Sabah sewajarnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menaiki kereta dari Kota Kinabalu hingga ke Sandakan. Barulah tahu betapa canggihnya lebuh raya kami, sport rim buatan Jepun pun boleh pecah satu hari sahaja. Adakah benar Sarawak telah mendapat sukuk atau bon untuk menyiapkan pakej Pan Borneo mereka? Jika benar, mengapakah Sabah tidak mendapat sukuk atau bon bagi mempercepatkan pembinaan jalan Pan Borneo di Sabah ini? Mengapa dalam tempoh dua tahun Kerajaan Perikatan Nasional memerintah melalui puppet mereka di Sabah, kenapa bon atau sukuk ini tidak diterbitkan untuk Sabah, bukankah sekarang sudah sealiran. Menyentuh mengenai Projek Pan Borneo juga, saya difahamkan ada lagi baki 20 buah pakej yang masih menunggu peruntukan. Maka itu juga, ada lagi 20 perasmian oleh Perdana Menteri bakal menunggu. Tuan Yang di-Pertua, rasanya Projek Pan Borneo ini bolehlah dimasukkan di dalam Malaysia Book of Records sebagai projek yang paling banyak kali dirasmikan oleh Perdana Menteri. Manakan tidak, daripada Perdana Menteri keenam sehinggalah Perdana Menteri kesembilan, correct me if I’m wrong, projek ini telah dimasukkan dalam setiap kali belanjawan negara sejak tahun 2013 sehinggalah tahun ini juga masih lagi disebut dan saya pasti Projek Pan Borneo ini juga akan dimasukkan lagi di dalam belanjawan negara tahun hadapan. Tuan Yang di-Pertua, saya sebut tentang cukai. Dalam belanjawan yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri juga telah diumumkan peruntukan melibatkan suku kaum. Tuan Yang di-Pertua, ke manakah kerajaan ingin membawa Malaysia ini jika pembahagian kekayaan dan bantuan kepada rakyat lebih bersifat diversified? Apabila kerajaan mengenakan cukai kepada masyarakat Malaysia, pernah kah kita dengar lembaga pemungut cukai memungut cukai berasaskan kaum dan agama. Apabila kerajaan kenakan cukai kepada rakyat, dia cukai tanpa melihat bangsa dan agamanya selagi mana mereka layak dikenakan cukai. Akan tetapi apabila mengagihkan pungutan cukai ini kepada rakyat, dibeza-bezakan pula mengikut kaum, bangsa malah agama.
Selain pembahagian yang secara jelas tidak menampakkan unsur-unsur keadilan, are we really moving towards the directions Tuan Yang di-Pertua? Sebab jika inilah cara Kerajaan Persekutuan mentadbir negara, saya yakin we are moving backwards, we are supposed to be building a nation not a political race or religion, we are supposed to be uniting the people, not to divide them.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat] Saya harap saya silap Tuan Yang di-Pertua. Namun, rasanya Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang memberikan peruntukan berasaskan kaum dan agama pada ketika kerajaan memungut cukai tanpa mengira agama dan bangsa selain hanya melaungkan slogan ‘Keluarga Malaysia’. Pendidikan Tuan Yang di-Pertua. Saya difahamkan KPTM Semporna akan ditutup awal tahun hadapan. Ada juga ura-ura yang mengatakan kononnya akan dipindahkan ke tempat lain di Sabah, tidak tahu betul atau tidak. Saya harap Yang Berhormat Menteri dapat menjelaskan. Persoalannya, apakah sebab ditutup? Adakah kerana faktor rugi atau kerana KPTM Semporna terletak di kawasan Ahli Parlimen Semporna? Tuan Yang di-Pertua, it was never about profit when KPTM Semporna dibuka di negeri Sabah dahulu. Ini kerana, ia adalah untuk memastikan agar anak-anak luar bandar khususnya di negeri Sabah dirapatkan, diminimumkan pergerakan mereka ke bandar. Dasar MARA pada ketika itu untuk membawa pendidikan ke luar bandar kerana tidak mahu anak-anak Sabah ataupun dari luar bandar berhijrah ke bandar. Jadi kalau disebabkan oleh rugi – kita lihat data ini. Pada 2019, KPTM Kuantan rugi, Alor Setar rugi, Ipoh rugi. Tahun 2020, Kuantan rugi, Alor Setar rugi, Ipoh rugi. Jadi kalau rugi menjadi asasnya, kenapa KPTM ini tidak ditutup? Kenapa KPTM Semporna ingin ditutup? Oleh sebab itu, saya mendesak kepada kerajaan agar memastikan MARA, KPTM Semporna perlu diteruskan operasinya, jangan ditutup. Saya harap juga Pengerusi MARA juga yang berasal dari Sabah, kalau boleh buka lebih banyak lagi kampus cawangan MARA di negeri Sabah termasuk di Beaufort. Kalau ada cadangan untuk membuka di Beaufort, saya akan memberikan sokongan 100 peratus. Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali Perjanjian Malaysia 1963. Ada seorang anak muda yang bertanya kepada saya, apakah perbezaan Kerajaan Persekutuan dengan penjajah British? Pada dia, penjajah akan mengambil hasil negara yang mereka jajah tetapi Kerajaan Persekutuan bukan sahaja mengambil hasil dari Sabah malah secara tidak langsung juga mengimport anak-anak muda Sabah berhijrah, merantau ke negeri orang, bekerja sebagai buruh, bekerja sebagai sekuriti, kerja di kilang-kilang walaupun pada hakikatnya negeri yang mereka tinggalkan itu adalah negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi. Maknanya pada anggapannya, sekejam-kejam penjajah British, lebih kejam lagi kerajaan Putrajaya dalam konteks layanan terhadap negeri Sabah. Tuan Yang di-Pertua, perjanjian MA63 ini ditandatangani oleh empat buah wilayah. Persoalannya, jika tidak setuju dengan perjanjian ini dahulu, kenapakah ditandatangani? Saya pasti jika bapa-bapa kemerdekaan kami tahu bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan menunaikan perjanjian ini, saya yakin mereka juga tidak akan menandatangani perjanjian ini dan saya pasti without Sabah, there will be no Malaysia. Jika tidak disetujui sekarang Tuan Yang di-Pertua – jika suami isteri pun boleh bercerai, demikian juga Sabah dengan Semenanjung Malaysia. Jika Singapura boleh berdiri di atas kaki mereka sendiri, malah di antara negeri yang kaya di rantau ini. Jika Brunei boleh berdiri atas kaki mereka walaupun mereka hanya sekecil-kecil negara, Sabah yakin dengan sumber yang ada, Sabah juga boleh berdiri di atas kakinya sendiri. Tuan Yang di-Pertua, last sekali. Suara-suara mendesak keluar Malaysia ini semakin lantang didengar di Sabah...
Minta rumuskan Yang Berhormat.
Di Sarawak juga kita sudah dengar. Malah baru-baru ini saya lihat capaian Youtube, ada konvoi ‘Sarawak Keluar Malaysia’ dilakukan di Sarawak. Jangan pandang mudah perkara ini Tuan Yang di-Pertua. Kalau Putrajaya terus-teruskan menganaktirikan Sabah dan Sarawak, jangan salahkan kami jika gerakan memerdekakan Sabah daripada penjajahan Putrajaya semakin lantang kedengaran. Kami bermula daripada United Nations, kami juga boleh mengakhiri perjuangan kami tentang MA63 ini dengan United Nations. Suka juga saya ingatkan sekali lagi kepada Yang Amat Berhormat Bera bahawa sewaktu Pilihan Raya Kecil Kimanis, Presiden Yang Amat Berhormat Bera sendiri telah bersumpah dengan nama Allah SWT bahawa jika UMNO kembali sebagai Perdana Menteri di Putrajaya, Perjanjian Malaysia 1963 akan dilaksanakan 100 peratus. Saya ada Youtube dia kalau mahu tengok. Maka dengan itu, jika Putrajaya ingin selamatkan Malaysia, jika Putrajaya sayangkan Malaysia, laksanakan Perjanjian Malaysia 1963 ini serta-merta. Selaras dengan aspirasi MA63, dengan bajet yang secara jelas tidak adil terhadap wilayah Sabah, maka saya Ahli Parlimen Sepanggar, menolak belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri. Sekian, Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumsalam warahmatullah. Terima kasih Yang Berhormat Sepanggar. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Kota Samarahan.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Keluarga Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, Bajet 2022 sudah dibentang, Tiga paksi dijadikan panduan, Kebajikan rakyat menjadi tunjang, Semangat Keluarga Malaysia menjadi acuan. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022. Dengan tema “Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera” saya percaya bahawa kerajaan mampu untuk melaksanakan belanjawan ini dengan sebaiknya serta memenuhi keperluan rakyat masa kini iaitu untuk bangkit semula selepas kejatuhan yang luar biasa sekali semasa tempoh pandemik COVID-19. Belanjawan 2022 berjumlah RM332.1 bilion merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara ini. Banyak program pembangunan semula negara dan program kebajikan untuk rakyat bagi menangani kesan daripada COVID-19. Harapan kita pelaksanaan perbelanjaan ini perlu dimantapkan mekanismenya supaya ia benar-benar membantu rakyat. Tuan Yang di-Pertua, pandemik COVID-19 telah menyebabkan keadaan hidup rakyat terjejas. Bukan sahaja terjejas dari sudut kesihatan malah dari sudut ekonomi. Oleh itu, bantuan Keluarga Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia amat dialu-alukan. Pelbagai program bantuan untuk semua kategori telah disediakan. Program Bantuan Keluarga Malaysia yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM8.6 bilion akan memberi manfaat kira-kira 9.6 juta orang penduduk. Ia merupakan peningkatan daripada Program Bantuan Prihatin, peningkatan daripada sudut peruntukan dan juga peningkatan daripada sudut jumlah penerima. Hakikatnya, kerajaan memahami nadi denyut rakyat apatah lagi pandemik ini telah menyebabkan sejumlah 580,000 orang rakyat yang dahulunya berpendapatan dalam kelompok M40 kini jatuh kepada berpendapatan B40.
“Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga”. Peribahasa ini yang harus kita gambarkan bagaimana kerajaan seharusnya berperanan dalam memahami kesukaran yang dialami oleh rakyat. Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mampu menangani setiap sudut permasalahan rakyat khasnya mereka yang berada dalam kelompok mereka yang memerlukan bantuan dan juga keprihatinan daripada kerajaan. Oleh sebab itu, saya menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Bantuan Keluarga Malaysia ini. Namun, ia haruslah dilaksanakan dengan penyampaian yang lebih berkesan dengan mengambil kira mereka yang berada di pedalaman dan di luar bandar yang rata-ratanya mengalami kepayahan untuk mendapatkan bantuan berkenaan. Begitu juga kerajaan digesa perlu ada data yang konkrit bagi memastikan tidak ada permohonan tercicir. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon penjelasan daripada Kementerian Kewangan, berapakah ramai jumlah penduduk Sarawak yang menikmati bantuan ini? Saya juga mohon agar pelaksanaannya dikaji dengan mengambil kira penduduk luar bandar dan pedalaman. Banyakkanlah kemudahan-kemudahan bank-bank bergerak dan pastikan sistem automatic teller machine bank di luar bandar sentiasa diservis dan mempunyai kewangan yang mencukupi. Tuan Yang di-Pertua, jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah bagaimana generasi masa kininya. Pada Bajet 2022 sekali lagi kerajaan meletakkan pendidikan sebagai keutamaan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia sekali lagi menerima peruntukan terbesar di dalam Bajet 2022 iaitu RM52.6 bilion. Pendidikan menjadi sebagai pelaburan utama bagi kita dalam membekalkan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak khasnya generasi pada masa ini. Oleh itu, saya ingin mohon penjelasan daripada kerajaan mengenai beberapa program yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pertamanya, berkaitan peruntukan sejumlah RM746 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif, khasnya di Sarawak. Sebagai rekod, kita masih mempunyai sejumlah 1,020 buah sekolah daif di Sarawak yang masih uzur di bawah kategori sekolah daif, 415 daripadanya ialah tahap yang sangat daif dan memerlukan gantian semula. Apakah status pelaksanaan projek baik pulih di bawah peruntukan pembayaran kontra negeri Sarawak ataupun advance payment tahun lepas? Di sini, saya ingin mengutarakan kembali permasalahan yang dialami di Kota Samarahan iaitu melibatkan SMK Muara Tuang. Saya difahamkan projek ini telah diluluskan sebagai projek gantian semula pada tahun 2017. Tetapi pada ketika ini, projek ini belum lagi bermula. Dengan enrolment hampir 3 ribu pelajar, kelas-kelas yang sedia ada tidak lagi mampu menampung bilangan dan juga kepadatan pelajar yang datangnya dari taman-taman perumahan dan juga perkampungan yang berhampiran. Tuan Yang di-Pertua, saya minta Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperincikan status pelaksanaan projek gantian penuh SMK Muara Tuang dan saya mohon agar ia disegerakan memandangkan keperluan yang mendesak. Tuan Yang di-Pertua, kini dua buah blok di SMK Muara Tuang telah disahkan tidak selamat lagi oleh pihak JKR Sarawak. Baru-baru ini saya didatangi oleh pihak ibu bapa yang resah dan bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka yang belajar dalam blok berkenaan. Oleh itu saya mohon agar pihak Kementerian Pendidikan meluluskan dan menyegerakan pembinaan dua buah bangunan baru secara binaan IBS untuk menggantikan bangunan ini bagi memudahkan proses pembelajaran. Selain daripada itu, saya dimaklumkan juga bahawa sekolah ini tidak mempunyai perpustakaan dan bilik sumber atas kekangan kekurangan bilik darjah. Saya juga mohon penjelasan kementerian terhadap status permohonan beberapa sekolah yang perlu dinaik taraf dan gantian semula, antaranya SK Tian Murud, SK Plaman Baki Menaul dan SK Gemang. Tuan Yang di-Pertua, pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawasanya sangat penting bagi kita meningkatkan keupayaan dalam meningkatkan tahap kebolehcapaian terhadap internet dan juga melaksanakan urusan- urusan secara digital yang khasnya melibatkan bidang pendidikan ini.
Saya secara prinsipnya bersetuju dengan usaha kerajaan untuk membekalkan RM457 juta sebagai bantuan bagi menyediakan tablet kepada setiap pelajar golongan B40 di institusi pengajian tinggi yang dijangka bakal memberi manfaat lebih 600 ribu mahasiswa di seluruh negara. Oleh itu saya mohon penjelasan. Berapa banyak peranti yang diagihkan untuk pelajar di Sarawak dan bagaimana kaedah dan mekanisme pengagihan bantuan tersebut? Kerajaan juga telah berbelanja besar dalam membantu peminjam-peminjam PTPTN dengan memberi bantuan diskaun pembayaran balik pinjaman yang bakal memberi manfaat kepada 1.67 juta peminjam di seluruh negara. Syukur alhamdulillah di Sarawak, kaedah ini telah pun dilaksanakan sejak tahun lepas. Kerajaan Negeri Sarawak membantu anak-anak Sarawak yang memerlukan dengan membuat bantuan pembayaran sebanyak 30 peratus kepada mereka yang layak. Tuan Yang di-Pertua, sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, rakyat di Sarawak sering kali mengimpikan negeri ini mampu dibangunkan setara dengan negeri- negeri lain khasnya yang berada di Semenanjung Malaysia. Saya tidak bersetuju jikalau alasan Sarawak sebagai negeri yang miskin dijadikan alasan untuk menambah peruntukan pembangunan untuk negeri tersebut. Secara hakikatnya, Sarawak bukanlah negeri yang miskin kerana ia menyumbang sebanyak 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar untuk negara Malaysia. Tidak cukup dengan itu, Sarawak juga menjadi penyumbang ketiga terbesar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan kepada pendapatan bagi negara Malaysia. Sarawak yang berkeluasan 124 ribu kilometer persegi ini dengan populasi 2.87 juta penduduk masih memerlukan lebih banyak dana untuk melaksanakan projek-projek pembangunan, khasnya bagi menampung keperluan-keperluan asas seperti bekalan air, bekalan elektrik, sistem jalan raya, perumahan dan kemudahan kesihatan. Oleh itu saya berharap pihak kerajaan perlu memikirkan pengagihan yang lebih setara berdasarkan semangat MA63. Apa pun kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang secara prinsipnya telah bersetuju untuk menambah baik peruntukan di bawah Perkara 112D yang menyentuh berkenaan pemberian peruntukan khas buat Sabah dan Sarawak. Selain daripada peruntukan tersebut, saya ingin penjelasan daripada pihak Kementerian Kewangan mengenai pemberian dana melalui program-program pembangunan yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan juga agensi termasuklah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi-agensi pelaksana projek pembangunan yang lain kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan juga di Kota Samarahan. Saya menjangkakan banyak peruntukan akan disalurkan dengan berkesan untuk melaksanakan program pembangunan fizikal di negeri Sarawak, bukan sahaja melalui peruntukan khas perbelanjaan pembangunan. Saya juga tertarik dengan kenyataan daripada Kementerian Kewangan Malaysia menyatakan sejumlah RM1.49 bilion telah diperuntukkan dalam melaksanakan program bantuan tunai. Selain daripada itu...
Minta rumuskan Yang Berhormat. Rumuskan satu minit.
...saya mohon agar kerajaan memberikan semula peruntukan penyukatan tanah NCR untuk Sabah dan Sarawak dimasukkan semula dalam bajet ini seperti yang dibentangkan dalam RMKe-12 yang lepas. Kita juga faham Sarawak dan juga Sabah terpisah dengan Semenanjung Malaysia dengan titik yang paling hampir iaitu antara Teluk Melano di Lundu dengan Pengerang di Johor berjarak 734 kilometer dan hal ini tidak mungkin kita boleh sambungkan dengan pembinaan jalan raya mahupun jambatan sepanjang itu.
Disebabkan hal itu, adalah dicadangkan kepada pihak kerajaan untuk memperkenalkan subsidi tambang penerbangan khas kepada penduduk Sarawak dan Sabah ke Semenanjung Malaysia atau sebaliknya bagi membolehkan perhubungan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur ini dapat dirapatkan. Permohonan ini sebagai tambahan pemberian peruntukan sebanyak RM209 juta bagi membiayai subsidi perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan negeri Sabah pada tahun hadapan. Tuan Yang di-Pertua, last ya.
Sila.
Terima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf peranan wanita sebagai golongan yang boleh membantu untuk membangunkan semula negara khasnya menerusi program-program pemerkasaan wanita dan usaha membela nasib mereka dalam mendepani situasi pada masa ini. Saranan untuk meletakkan syarat sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengurusan syarikat awam, amatlah dialu-alukan. Oleh itu saya ingin memohon penjelasan daripada Kementerian Wanita berkaitan dengan dua buah program dengan pembiayaan RM230 juta iaitu menerusi Program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita atau DanaNITA di bawah Majlis Amanah Rakyat dan TekunNita menerusi Tekun Nasional. Program ini adalah sangat baik dan dialu-alukan bagi membantu usahawan-usahawan wanita. Saya ingin mohon penjelasan daripada kementerian berkaitan dengan pelaksanaan Program My Capital. Berapa banyakkah peruntukan dianjurkan ataupun diberi kepada Sarawak dan adakah permohonan ini diberi keutamaan kepada golongan ibu tunggal? Tuan Yang di-Pertua terima kasih. Yang Berhormat Kota Samarahan mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Samarahan. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Permatang Pauh. Silakan Yang Berhormat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salah hormat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua di atas laluan yang diberikan pada Permatang Pauh untuk turut serta berbahas dalam Belanjawan 2022. Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 1927, Za’ba menerbitkan artikel “Jalan Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu” yang menekankan tentang pentingnya penguasaan ilmu dan intelektual bagi membolehkan orang Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain. Tahun ini izinkan saya membuat penambahan kepada impian pendeta Za’ba dengan ingatan bagi mewujudkan pelampung keselamatan sosial supaya semua orang di Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah tanpa mengira kelas. Kita wajib mengurangkan jurang yang kian melebar. Persoalannya, adakah daripada RMKe-12 hingga ke Belanjawan 2022 kita mampu memacu misi ini sebaiknya buat rakyat. Saya rujuk laporan Tinjauan Ekonomi 2022, kita lihat peningkatan 25 peratus hingga 45 peratus pengeluaran simpanan KWSP. Sebanyak 70 peratus keluarga B40, 50 peratus keluarga M40, mereka keluarkan simpanan sebanyak RM5,000 ke bawah dan menyatakan keluaran KWSP hanya cukup untuk membantu selama tiga bulan sahaja. Jumlah pengeluaran ini sama dengan 20 peratus daripada kesemua stimulus kerajaan yang terkini. Saya tekankan dalam Dewan Rakyat yang mulia sebelumnya, simpanan KWSP walaupun hak rakyat, dana rakyat, simpanan rakyat, wajib diguna pakai sebagai pilihan the last resort kerana kerajaan sewajibnya mendahulukan dana tersebut. Jadi, kita berhadapan dengan krisis menuju status negara tua menjelang 2030 di mana seramai 3.6
juta orang rakyat punyai kurang daripada RM1,000. Maka saya pergi kepada saranan kerana kita pernah bincang bab ini, apabila melihat apa yang dilakukan oleh kerajaan menerusi belanjawan, saya kecewa dengan penurunan paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digandingkan dengan tiadanya usaha gigih untuk mengira keperluan serta deprivation rakyat khususnya isi rumah yang memerlukan menerusi pelbagai dimensi. Saya rujuk jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika RMKe-12, janji hendak guna PGK terbaru untuk tahun 2022 kerana tahun 2020 kita guna pakai RM980 seisi rumah. Akan tetapi untuk 2022 hanya guna PGK makanan iaitu RM1,169. Rujuk dengan rujuk lagi, kita kena ingat apabila kita guna lagi rendah, maksudnya ratusan ribuan isi rumah yang layak, mereka tidak mendapat bantuan tertentu daripada kementerian. Kementerian dan kerajaan dan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan sendiri mengakui antara 600 ribu hingga sejuta orang rakyat M40 sudah tergelincir masuk B40. Jadi, kenapakah sempitkan ukuran PGK ini? Saya rasa tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila kita setuju meningkatkan had statutori hutang Malaysia, untuk apa? Bukan untuk pastikan kita bayar hutang akibat Yang Berhormat Pekan, 1MDB kena bayar, total dia RM32 bilion lagi. Kita hendak guna pakai penambahan hutang ini hendak bantu rakyat. Jadi, saya agak kecewa kerana pada saya ini merupakan isu yang asas, takkan tak boleh guna pakai RM3 bilion lebihan ini? Kita kena selamatkan bukan menidakkan dan menafikan hak mereka yang layak terima bantuan. Tuan Yang di-Pertua, the devil is always in the detailed implementation. Saya rujuk kepada laporan UNICEF kerana pada saya walaupun kita ada dengar pengumuman yang diberi oleh Kementerian Kewangan tetapi ternyata sistem perlindungan sosial di Malaysia tidak direka dan tidak cukup untuk menampung cabaran dan kejutan pandemik. Jadi, kalau kita lihat sebelumnya disebut tentang kalau ada kanak-kanak dalam isi rumah keluarga tersebut lebih miskin tetapi bantuan kita hanya meliputi kurang daripada satu peratus kesemua isi rumah Malaysia yang mempunyai kanak-kanak kecil. Mereka cadangkan elaun kanak-kanak kebangsaan, bantuan kanak-kanak sejagat sebagai jalan keluar kerana belanjawan kita lebih kurang 0.3 peratus daripada KDNK untuk maksud bantuan sosial sedangkan negara maju OECD lebih kurang 1.1 peratus daripada KDNK. Jadi pada saya agak penting untuk ambil kira PGK terkini termasuklah melebar luaskan lagi jaringan because when you invest in children, you never lose out. Saya hendak rujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Asian Development Bank. Ramai Ahli Parlimen sebelumnya sudah sebut tentang the lost generation. Tuan Yang di-Pertua, agak penting kita lihat di sini apabila sekolah ditutup, berlaku keciciran daripada segi potential income yang mampu diraih oleh anak-anak yang hilang lebih kurang setahun daripada alam persekolahan. Kalau saya lihat daripada analisa mereka untuk aggregate earning losses in terms of lifetime earnings USD in million bagi Southeast Asia, Malaysia terangkum USD147,000 untuk intermediate impact and losses in lifetime earnings, 4.9 peratus daripada KDNK untuk 2020. Manakala untuk potential earning losses per student USD167 for intermediate per student per year, dan 1.9 percentage declined earnings per student per year. Saya fikir Kementerian Pendidikan akan mendapat dukungan kita sepenuhnya kalau mengambil kira bukan semata-mata pembukaan persekolahan dalam keadaan yang selamat but apa yang boleh kita lakukan untuk memastikan pelajar-pelajar yang berisiko ini. Ada ramai yang tidak hendak pergi ke sekolah, ada ramai yang lebih selesa untuk- they will be considered dropouts. So, bagaimana hendak memastikan mereka dapat juga menimba ilmu untuk survival pada masa hadapan. Ini adalah perang yang kita harus tangani secara bersama. Tuan Yang di-Pertua, kerana itu pada saya yang penting juga peringkat terakhir dalam lima minit yang saya ada ini saya hendak sebut apabila kita bercakap tentang pendidikan pasca COVID-19 mahu tidak mahu kena guna pakai semua aplikasi. Malaysia tidak guna pakai radio sebagaimana yang dibuat di banyak negara di Asia Tenggara. Saya
fikir bukan semua sekolah boleh dibuka dalam keadaan seperti sedia kala sebelumnya. Akan ada yang terpaksa ditutup, there will be clusters as we enter the endemic phase. Jadi, Kementerian Pendidikan saya pohon dapat mewujudkan satu task force, mengambil kira- sama ada Yang Berhormat Simpang Renggam, mana-mana. The issue is we must include kesemua Ahli Parlimen, kesemua agensi dan kementerian dalam usaha untuk menyelamatkan masa hadapan anak-anak kita. Saya teruskan juga apabila mengambil kira semangat gerakan ‘Kita Jaga Kita’, ‘Bendera Putih’, ‘Bendera Hitam’. Saya mahu kerajaan menerusi belanjawan ini meraikan NGO-NGO yang bekerja di lapangan. Sama ada NGO SEED, Pertiwi Kitchen, Yayasan MyPrihatin, Yayasan ROSE, Baitul Rahmah dan Ibnu Sina. Mereka sepatutnya diberikan matching grants sebagaimana yang telah dibincangkan dalam laporan Boston Consulting Group, terhasil semasa Yang Berhormat Pekan menjadi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tahun 2017 dibentangkan kepada Agensi Inovasi Malaysia. Kenapakah saya sebut? Ini kerana pada saya tidak menjadi nilai tambah apabila kerajaan mewujudkan yayasan baharu. Kita tidak mahu yayasan nanti yang sekarang kita dibelenggu, kita ingat lagi apa berlaku di mahkamah dengan kes Yayasan Akalbudi, sepatutnya kerajaan mengambil peluang ini untuk membantu merancakkan lagi kerja, membantu memudahkan lagi usaha kesemua badan bukan kerajaan yang memang secara kepakarannya membantu segmen- segmen yang rentan. Jadi, saya tidak bersetuju sangat apabila dilihat pewujudan yayasan baharu. Pada saya it is a waste for administrative access dan kita kena pastikan kita bersifat efisien pada kala kerajaan pun mengatakan kita tidak boleh membazirkan dana. Kita kena jimatkan duit negara. Maka apa salahnya mengikuti sendiri saranan kerajaan terdahulu sama juga dengan point akhir saya. Pada tahun 2005 sama, this is about institutional memory, Tuan Yang di-Pertua. Maksudnya kertas-kertas kerja dulu, penilaian, kaji selidik sudah ada. Tinggal hendak laksana dan kewujudan iltizam politik sahaja.
Pada tahun 2005, saya rujuk kertas UNDP bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu. Sudah ada projek rintis gender responsive budgeting merentasi lima kementerian. Contoh Kementerian Kesihatan. Mereka akan tengok keperluan wanita yang akan mengalami osteoporosis berbanding dengan lelaki. So, mereka dahulukan dana ke arah memenuhi keperluan wanita. Itu baru satu kementerian. Bagi kementerian lain, walaupun saya akui dalam belanjawan disebut penambahan dana RM500 untuk wanita tetapi kalaupun memberi peluang untuk upskilling, kita kena ingat kena gandingkan juga dengan penjagaan kanak-kanak. Semasa tahun 2005 itu, disebut tentang premis KEMAS yang berdekatan dengan semua tapak upskilling ditawarkan oleh wanita. Saya tidak tahu mana hilang semuanya kerana apabila sudah kata tentang consultancy report, they are there. Saya tidak hendak kita bazirkan siapa pun yang memegang teraju kepimpinan ketika itu kalau dasarnya atau impact-nya memang bermanfaat kita wajib guna pakai. Saya tidak pasti Yang Berhormat Kota Marudu menjadi Menteri ketika itu, but its under Agensi Inovasi Nasional. Pada saya, it was very important kerana tugas kerajaan adalah untuk meraikan usaha-usaha yang ada, bukan untuk merumitkan keadaan dan akhirnya mengambil dana yang sepatutnya dinikmati oleh segmen yang sangat membantu. Jadi Tuan Yang di-Pertua, kita tidak boleh lari daripada memperkenalkan pengiraan dan penggunaan belanjawan ikut gender bagi setiap kementerian, pantau. Tidak cukup dengan bantuan tambahan yang saya fikir a little bit one-off— Yang Berhormat Pengerang sebut tadi. Carpet bombing. I think it is quite an accurate description. Kita hendak pastikan juga, setiap tahun Malaysia patut menilai daripada segi belanjawan kita. How gender responsive it is. Kedua, dari segi pengenalan cukai untuk menampung perbelanjaan, Cukai Makmur. Ada banyak pakar ekonomi yang mengatakan kita kena ambil kira lebih banyak lagi cukai progresif yang lebih tersusun termasuklah cukai keuntungan modal. Because the principal is you taxing capital instead. Dari segi pelampung keselamatan sosial, saya tidak mahu moonshot kita tengok kepada syarat. Kita takut sangat hendak bagi orang
miskin yang tidak layak katanya. The moonshot should be bagaimana hendak memastikan rakyat diselamatkan, bukan moonshot hendak menjaga hutang. Apa yang kita patut jaga adalah insiden-insiden ketirisan, lawan rasuah untuk menyelamatkan dana negara. Terakhir, saya mohon agar diwujudkan pangkalan data perlindungan sosial yang diintegrasi menerusi maybe MySPC. Tolong kongsikan dengan Ahli-ahli Parlimen kerana mudah untuk kita pastikan semua golongan yang memerlukan disasar dengan sebaik mungkin. It is an era where no goverment knows everything, Tuan Yang di-Pertua. Jadi kita kena bergerak di mana-mana cara kita untuk menampung kehilangan dan ruang yang dapat kita bantu. Baik saya akhiri dengan kata-kata ‘Harry Roesli’ ya. “Kita perang terhadap kemiskinan, bukan perang terhadap orang miskin”. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Bachok.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Membaca sepotong doa] Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk berbahas mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebagai pelengkap kepada pakej-pakej rangsangan ekonomi negara. Berdepan dengan tempoh pandemik bagi tahun ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan dan pasukan Belanjawan 2022 yang telah bertungkus-lumus menyediakan suatu belanjawan yang inklusif sebagai memenuhi fasa recovery serta revitalize economy menghadapi fasa endemik kelak serta menyediakan tapak asas untuk kembali kepada era pra pandemik. Semoga segala yang dirancang dan penambahbaikan dalam Belanjawan 2022 ini menatijahkan kepada sebuah kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, saya memahami situasi ekonomi dan fiskal negara yang terkesan disebabkan oleh pandemik yang melanda negara dan global selama dua tahun ini. KDNK negara diunjurkan lebih rendah iaitu tiga sehingga empat peratus berbanding sasaran asal lima sehingga enam peratus yang disasarkan pada tahun lalu. Situasi ini didorong oleh faktor pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang memakan masa sehingga empat ke lima bulan yang menyebabkan speed bump terhadap prestasi semasa ekonomi negara. Unjuran KDNK yang rendah juga menyebabkan defisit fiskal terus mencanak naik sehingga 6.5 peratus hingga 7.0 peratus bagi tahun 2021 serta had statutori hutang Persekutuan melebihi paras 60 peratus KDNK atau lebih tepat 63.3 peratus kepada KDNK dengan nilaian RM965.3 bilion. Walaupun menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu, saya kira wajar kita menyanjung tinggi keprihatinan kerajaan untuk meneruskan pelbagai siri pakej rangsangan ekonomi sebagaimana yang kita sedia maklum. Tuan Yang di-Pertua, meskipun daripada satu sudut pengembangan fiskal ekonomi, kerajaan yang diumumkan oleh kerajaan seperti mana yang dilaksanakan sejak Belanjawan 2021 ini adalah suatu yang wajar berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi. Namun, kerajaan perlu sentiasa mengawal serta mengekalkan disiplin fiskal yang tinggi dalam menguruskan fiskalnya. Soal disiplin fiskal ini bukan sahaja memastikan kutipan hasil cukup untuk membiayai perbelanjaan mengurus serta memastikan perbelanjaan pembangunan dan Kumpulan Wang COVID-19 dibiayai daripada Kumpulan Wang Pembangunan. Bahkan juga memastikan secara pentadbirannya debt service ratio negara kekal di bawah 15 peratus. Defisit fiskal yang terkawal di bawah tiga peratus serta memastikan majoriti pinjaman kerajaan daripada institusi-institusi domestik. Kesemua ini adalah rangka defisit fiskal yang perlu sentiasa diawasi oleh pihak kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, saya tertarik untuk menyentuh mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2020 tempoh hari yang membangkitkan beberapa aspek mengenai pengurusan kewangan oleh kerajaan. Berdasarkan Laporan Penyata Kewangan Kerajaan
Persekutuan Serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan tahun 2020 menunjukkan jumlah di bawah kategori pembayaran tidak teratur adalah sebanyak RM510.49 juta. Jumlah di bawah kategori kerugian wang awam adalah RM104.79 jut,a manakala jumlah di bawah kategori pembaziran adalah sebanyak RM4.79 juta. Kesemua kategori ini berjumlah sebanyak RM620.07 juta. Laporan Ketua Audit Negara 2020 ini perlu ditanggapi dengan baik oleh pihak kerajaan pada hari ini. Ketika kerajaan mahu memastikan pengurusan kewangan yang lebih efektif dan efisien bagi Belanjawan 2022, maka dalam masa yang sama perlu dijelaskan apa sebenarnya yang telah berlaku di sebalik kerugian keseluruhan berjumlah sebanyak RM620.07 juta tersebut daripada pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran seperti yang dijelaskan oleh Laporan Ketua Audit Negara tersebut. Saya mahu memastikan kerajaan hari ini bukan sahaja transparent dan telus, bahkan berani menjelaskan ketidakcekapan yang ada dan langkah serius memperbaiki kekurangan yang ada sekarang. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah mengetengahkan dasar ke arah kelestarian alam sekitar yang menjadi antara teras penting dalam pembentangan RMKe-12 yang lalu. Saya menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan GHG rentas ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan KDNK pada tahun 2030 selain persediaan ke arah zero net emission pada tahun 2050. Pelbagai dasar serta perubahan industri telah mula digerakkan bagi mencapai hasrat kerajaan tersebut. Walau bagaimanapun apa yang saya fikirkan suatu yang kita sering terlepas pandang adalah soal perubahan mentaliti rakyat dan kita semua ke arah mencapai hasrat kelestarian alam sekitar tersebut. Kita perlu memperkukuhkan semula kempen-kempen kesedaran rakyat kementerian arah minda hijau dan perkara ini seharusnya bermula daripada penggunaan dan perbelanjaan isi rumah.
Kempen Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 2.0, pengawalan perbelanjaan dan penggunaan isi rumah serta pengasingan sisa pepejal dan sisa bahan buangan makanan perlu terus dirangka dengan strategik. Agenda Malaysia Bersih 2020 perlu diteruskan dengan langkah serta tindakan lebih komprehensif dan agresif bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kefahaman dan tindakan yang setara dengan dasar hijau yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, seluruh negara tersentuh dengan nasib yang melanda Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman yang menjadi salah seorang mangsa buli kira-kira empat tahun yang lalu. Keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang menjatuhkan hukuman kepada 18 orang tertuduh dalam kes ini wajar dijadikan pengajaran serta cegah rintang bagi memastikan tragedi buli ini tidak berulang pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, kes yang melanda Allahyarham Zulfarhan ini tidak berhenti di situ, kita masih ingat bagaimana kes Amirul Nashriq Othman. Allahyarham seorang penuntut di institusi UPNM juga dipercayai mempunyai kisah dan nasib yang sama. Allahyarham dikatakan telah mendedahkan telah dibelasah oleh senior UPNM sehingga menyebabkan lebam dan kecederaan organ dalaman beberapa hari sebelum dikhuatiri lemas di Air Terjun Camang, Bentong, Pahang pada 24 Mac 2018. Kes ini telah berlaku tiga tahun lepas. Namun, saya difahamkan kes tersebut masih gagal ditangani oleh kerajaan sebelumnya. Oleh itu saya pohon, pihak kementerian yang bertanggungjawab untuk mengemukakan penjelasan mengenai kes ini. Begitu juga mengenai langkah drastik yang diambil oleh pihak Kementerian Pertahanan di UPNM, Kementerian Pendidikan mahupun Kementerian Pengajian Tinggi untuk menangani kes-kes buli yang berlaku di institusi pendidikan masing-masing. Apakah ada langkah tegas yang diambil bagi mengekang budaya buli daripada berterusan berlaku dalam negara kita? Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh mengenai isu kadar bayaran pencen yang rendah bagi pesara-pesara agensi kerajaan yang telah diswastakan sekitar era 80-an dan 90-an berdasarkan dasar penswastaan negara ketika itu. Kebanyakan
daripada mereka ialah pekerja daripada syarikat-syarikat GLC yang diswastakan. Antaranya ialah Syarikat Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad, Keretapi Tanah Melayu North Port, Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS), Malaysia Airports Holdings Berhad dan sebagainya. Walau bagaimanapun, timbul rungutan daripada pesara-pesara ini yang menganggap saranan mereka mengenai kadar bayaran pencen tidak diambil peduli oleh pihak kerajaan. Saya difahamkan mereka menerima pencen bulanan serendah RM180 sahaja dan jumlah pencen yang mereka terima pada hari ini adalah mengambil kira gaji terakhir mereka sebelum berpindah ke sektor swasta berdasarkan kepada tahun perkhidmatan terakhir mereka dengan sektor awam ketika itu. Sudah tentu nilai kadar bayaran pencen tersebut adalah suatu perkara contentious sehingga kerana ia mungkin terlalu rendah dengan nilai kos sara hidup semasa hari ini. Jadi saya mohon response kementerian terhadap saranan yang dikemukakan oleh pihak Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia dan bagi pihak Kesatuan Sekerja dalam syarikat GLC ini bagi meneliti kadar bayaran pencen yang rendah seperti yang dibangkitkan ketika ini. Tuan Yang di-Pertua, dasawarsa ini menyaksikan perkembangan ekonomi digital yang ketara dalam negara. Di sebalik negara berhadapan dengan pandemik yang memaksa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan secara positifnya ia mendorong orang ramai beralih kepada pembelian dalam talian. Seterusnya dalam masa yang sama menggalakkan lagi penyertaan terhadap ekonomi gig. Saya juga melihat ia sebagai suatu pemangkin daripada inisiatif kerajaan melalui “Shop Malaysia Online” yang direncanakan daripada Belanjawan 2021 yang lepas. Di atas perkembangan positif ekonomi digital serta ekonomi gig ini, saya mengharapkan agar penglibatan anak muda dalam ekonomi digital dan ekonomi gig ini digembleng secara terancang khususnya melibatkan golongan muda di kawasan saya, Parlimen Bachok. Dorongan dan pakej galakan wajar diteruskan dan diberikan tumpuan yang seimbang khususnya kepada golongan belia yang berada di luar bandar. Di samping itu, langkah meningkatkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Bachok dalam perniagaan dalam talian wajar diperhebat lagi bagi memastikan manfaat di sebalik inisiatif kerajaan dapat dirasai oleh golongan tersebut. Saya sering tekankan dalam perbahasan saya di Dewan yang mulia ini bahawa usaha digitalisasi ekonomi harus seimbang di antara bandar dan luar bandar, sesuai dengan strategi keseimbangan pembangunan wilayah yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun kerajaan. Dalam masa yang sama saya juga memohon kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya mengambil perhatian terhadap capaian internet di Parlimen Bachok yang masih amat rendah seterusnya merencatkan usaha pendigitalan ekonomi seperti yang dihasratkan oleh pihak kerajaan. Apakah pelan masa bagi pembangunan kemudahan infrastruktur jalur lebar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi 100 peratus liputan 4G khususnya di Bachok ketika ini? Tuan Yang di-Pertua, khas untuk kawasan saya di Bachok, saya memohon pembinaan sebuah ibu pejabat polis dan Balai Polis Bachok yang baharu. Bangunan IPD sedia ada sememangnya sudah agak lama, hampir 40 tahun usianya dengan keluasan yang amat terhad apatah lagi dengan pertambahan jabatan-jabatan baharu. Begitu juga dengan lokasi sedia ada adalah terlalu sibuk dengan trafik yang menyukarkan pihak polis dalam memberikan khidmat terbaik mereka. Saya juga berharap memohon sebuah pembinaan stesen bas yang baharu di bandar Bachok. Stesen bas sedia ada kelihatan sudah amat daif dan amat mencacatkan keindahan bandar Bachok.
Tolong rumuskan Yang Berhormat.
Terakhir Tuan Yang di-Pertua.
Baik.
Saya ingin menyentuh secara ringkas mengenai mata wang digital. Kalau kita lihat negara jiran kita Singapura telah mula melangkah lebih ke hadapan untuk menjadi sebuah hab global bagi mata wang digital. Pihak berkuasa Monetari Singapura atau The Monetary Authority of Singapore (MAS) turut menguatkuasakan suatu perundangan khusus bagi mengawal selia industri mata wang digital ini sejak tahun yang lepas. Saya difahamkan laporan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bahawa lebih RM16 bilion mata wang digital telah didagangkan sepanjang Ogos 2020 sehingga September 2021 menunjukkan potensi pembangunan mata wang digital yang tinggi kepada negara kita. Oleh itu, saya mohon kementerian untuk menjelaskan pendirian kerajaan berkenaan industri mata wang digital ini. Apakah kita mempunyai akta yang kukuh untuk mengawal selia industri ini dalam negara serta bagaimana menghadapi persoalan-persoalan berkaitan dengan pematuhan syariah terhadap penggunaan mata wang digital ini supaya dapat memupuk literasi penggunaan mata wang digital dalam negara kita? Sekian, saya mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bachok. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Rasah.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan pada petang ini. Saya akan gunakan sebaiknya 13 minit yang diperuntukkan. Perkara pertama yang saya hendak sebutkan adalah berkenaan dengan pendapatan negara sebab banyak kita tumpukan kepada perbelanjaan, pendapatan juga penting. Kita ialah negara pengeluar minyak dan harga minyak dunia ketika ini kalau kita tengok bulan Oktober baru-baru ini, tahun ini harga telah naik kepada USD80. Berbanding dengan tahun lepas ketika pembentangan bajet untuk tahun 2021 hanya setakat USD40 sahaja. Saya hendak tanya lonjakan yang sebegini, yang pastinya akan membolehkan pendapatan negara berganda. Apakah bantuan yang kita boleh salurkan terus kepada rakyat juga akan berganda? Ini saya rasa persoalan pokok yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Hal ini sebab apa sahaja pendapatan negara kita kena bantu rakyat, disalurkan kepada rakyat. Saya nampak dalam pembentangan bajet oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan, ada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Saya harap BKM jangan setakat penjenamaan semula, di branding sahaja daripada asalnya BR1M, BSH, BPR dan hari ini BKM. Hal yang penting adalah bantuan yang perlu diberikan, perlu digandakan sebab apa? Bukan sahaja B40 hari ini yang terdesak. Minggu lepas saya dapat jawapan daripada JPM sendiri mengatakan sekurang- kurangnya lebih 10 peratus golongan M40 hari ini pendapatannya telah menjunam dan termasuk dalam kategori B40 yang menyebabkan golongan M40 sendiri perlu diberi bantuan yang secukupnya. Jadi saya mohon kementerian khasnya MOF boleh mengkaji semula bantuan yang disenaraikan supaya boleh memberikan bantuan terus BKM kepada golongan B40 dan M40.
Perkara yang kedua Tuan Yang di-Pertua yang saya hendak sebutkan pada petang ini adalah berkenaan dengan pendapatan negara juga. FDI di bawah MITI. FDI kita tahu, kita merupakan negara membangun, FDI sangat mustahak untuk membolehkan keberlangsungan ekonomi kita dan kita merupakan negara pengeluar produk sektor pembuatan dan ia perlu diteruskan. Kita perlukan suntikan ataupun dana FDI dari asing
untuk membolehkan kita terus maju dan sektor perkilangan kita terus melakukan lonjakan di hadapan. Cuma saya hendak mohon MITI supaya boleh menjawab satu perkara iaitu kenyataan daripada bekas Pengerusi Pertubuhan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Dr. Rais Hussin berkenaan dengan Dasar Kabotaj Negara. Disebabkan ada seorang menteri, Menteri Pengangkutan kita yang angkuh dan ego yang melaksanakan dasar ini. Datuk Dr. Rais Hussin kata, “Kita ada potensi kehilangan pelaburan dari RM12 bilion hingga RM15 bilion pelaburan asing.” Ia satu pelaburan yang besar yang boleh membantu kita menjana sektor ekonomi kita yang menjanakan atau melonjakkan pembangunan digital kita. Kenapakah dilaksanakan dasar ini? Saya tidak mahu Menteri Pengangkutan jawab, tidak guna beliau jawab. Beliau dapat soalan tidak mahu mengaku salah. Saya mohon Menteri MITI supaya menjawab. Oleh sebab ia penting, ia boleh menjana pendapatan untuk negara. Kutipan tax kita akan meningkat, jadi ia sangat penting. Jangan Dasar Kabotaj negara akhirnya- disebabkan oleh kesilapan seorang Menteri, ia menjadi ‘dasar sabotaj negara’. Itu sangat mendukacitakan rakyat Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, perkara ketiga yang saya hendak sebutkan adalah berkenaan dengan KDN. Pada 1 November yang lepas saya telah menerima jawapan daripada KDN berkenaan dengan isu kanak-kanak yang ayahnya warganegara Malaysia, ibunya warga asing dan ibu dan ayah kanak-kanak tersebut hanya mendaftarkan perkahwinan mereka selepas anak ini dilahirkan. Ya lah, mungkin ayahnya silap dan sebagainya. Akan tetapi, anak ini bukan warganegara Malaysia. Dalam soalan tersebut, saya menyatakan bahawa kenapa kita tidak boleh menggunakan laporan DNA Jabatan Kimia sendiri untuk mengesahkan kewarganegaraan untuk anak ini? Jawapan yang saya terima mengecewakan, iaitu mengatakan bahawa laporan DNA dari Jabatan Kimia hanya sebagai dokumen sokongan yang mengesahkan pertalian saudara sahaja, itu sahaja. Tidak boleh dijadikan bukti konklusif. Saya hendak mohon supaya KDN menyemak semula jawapan ini. Oleh sebab banyak kes, di tangan saya sahaja ada berpuluh-puluh kes macam ini, dan saya rasa di seluruh negara banyak kes macam ini. Ia merupakan sesuatu yang rentas kaum dan agama. Kita perlu berikan keadilan hak yang sepatutnya kepada kanak-kanak tersebut, mereka tidak berdosa, mereka tidak bersalah. Janganlah disebabkan kesilapan ayah mereka, anak terpaksa menanggung dosa. Perkara yang keempat Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan KKM. Ketika pandemik COVID-19 inilah kementerian yang menjadi tumpuan. Inilah kementerian yang kita memberikan tanggungjawab dan dibebankan dengan tanggungjawab. Akan tetapi apa yang saya nampak, rekod menunjukkan bahawa perbelanjaan sebenar pembangunan untuk KKM pada tahun 2018 adalah sebanyak RM1.5 bilion, tahun 2019 sebanyak RM1.7 bilion, tahun lepas sebanyak RM3.8 bilion, lonjakan lebih 100 peratus. Ia adalah lonjakan yang tidak pernah berlaku dan kita tahu sebab dia pandemik COVID. Banyak perbelanjaan terpaksa digunakan untuk menangani pandemik COVID, untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia. Akan tetapi persoalan saya, kenapa Bajet 2022 untuk peruntukan Pembangunan ia kurang dari tahun sebelumnya. Saya rujuk Buku Bajet sebelum ini, tahun 2021 untuk peruntukan pembangunan sebanyak RM4.7 bilion tetapi untuk tahun 2022 hanya RM4.3 bilion sahaja, kenapakah ada pengurangan? MOF bagi kurang, adakah KKM juga setuju dengan pengurangan tersebut. Kita kena ingat, walaupun kes di negara kita menurun ketika ini, tetapi jangan disebabkan pada ketika ini kes turun, peruntukan pun turun. Pandemik masih lagi berlaku, COVID-19 masih mengancam nyawa rakyat Malaysia. Kita kena ambil pengajaran dan iktibar daripada pandemik COVID-19 ini supaya kita lebih bersedia dengan pelbagai kelengkapan dan peralatan untuk menghadapi apa- apa pandemik pada masa akan datang. Tuan Yang di-Pertua, perkara kelima yang saya hendak sebutkan adalah berkenaan dengan MySejahtera. Kita tahu sejak setahun setengah yang lepas kita menggunakan MySejahtera dan ia merupakan satu perkara yang biasa. Saya hendak
bangkitkan berkenaan dengan isu temu janji untuk mendapatkan dos penggalak- booster dose. Temu janji melalui MySejahtera sahih tetapi apabila rakyat kita yang menerima tarikh dan masa untuk temu janji tersebut, pergi ke klinik tersebut, klinik tidak buka. Saya ada bukti sahih. Sebuah klinik di Parlimen Rembau di Senawang, ini tempat menteri KKM, Klinik Mutiara, klinik itu tidak buka pada setiap hari Ahad, ia hanya buka Isnin hingga Sabtu sahaja. Akan tetapi, kenapa ada penduduk di Rasah yang mendapat appointment untuk ambil dos penggalak pada hari minggu. Pembantu saya tanya pihak klinik semalam, dia kata dia tidak tahu. Okey, pada semalam juga dalam soalan tambahan, saya tanya Yang Berhormat Menteri Kesihatan I, beliau jawab klinik yang sepatutnya maklumkan kepada individu tersebut supaya hadir pada tarikh lain. Jadi, siapakah yang kena bertanggungjawab? Saya rasa ini bukan cara dia, sebab sekarang ini golongan sasar yang akan menerima dos penggalak ini adalah sama ada golongan warga emas ataupun OKU. Kalau kita buat kerja macam ini, mereka akan hadir, klinik tutup, apa masalah dia, rakyat yang susah. Menyusahkan rakyat, kita bukan hendak selamatkan rakyat, kita mengakibatkan risiko yang lebih tinggi dan menyusahkan rakyat. Saya mohon satu jawapan daripada KKM kenapa perkara sebegini boleh berlaku? Seterusnya perkara keenam KKM juga. Dalam teks ucapan Yang Berhormat Menteri Kewangan ada menyatakan bahawa akan memantapkan pengurusan ‘Penyakit Jarang Jumpa’. Saya menyambut baik ayat ini, cuma saya hendak tahu dan Persatuan Lysosomal Malaysia hendak tahu, berapakah peruntukan untuk ‘penyakit jarang jumpa’ - rare disease ini? Saya tahu kos dia tinggi, tetapi jangan kita pinggirkan pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan kerajaan. Saya masih ingat, Yang Berhormat Bagan menjadi Menteri Kewangan dahulu, beliau menyebutkan dengan jelas. Jadi saya mohon, Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan I ada di sini, boleh ketika penggulungan nanti berikan jawapan, berapakah peruntukan kerajaan untuk penyakit jarang jumpa - rare disease? Tuan Yang di-Pertua, perkara ketujuh yang saya hendak sebutkan ini berkenaan dengan pengumuman dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita yang bertarikh pada 19 September hampir dua bulan dahulu yang mengatakan bahawa kerajaan memperuntukkan sebanyak RM471.6 juta untuk memberikan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada 3.6 juta orang keluarga B40 di seluruh negara. Saya menyambut baik, saya mengalu-alukan. Ini satu inisiatif untuk rakyat menjaga kesihatan diri, sangat baik, sangat menggalakkan. Akan tetapi, sehingga ke hari ini, bagaimana mekanisme pengagihan kit tersebut? Ia termasuk empat perkara, empat pelitup muka, empat kit ujian kendiri, sebuah oximeter, sebuah termometer, semuanya baik. Macam mana? Saya tanya, saya dari Negeri Sembilan, saya tanya Exco Kebajikan, beliau tidak tahu, tanya Pengarah Kebajikan, tidak tahu. Adakah Negeri Sembilan terkecuali, saya rasa tidak. Cuma bagaimana mekanismenya? Saya cadangkan pada petang ini supaya dibuat macam bakul makanan dahulu. Melalui Pejabat Ahli Parlimen di kesemua 222 buah kawasan Parlimen dengan senarainya daripada pihak agensi yang terbabit supaya semua keluarga B40 di seluruh negara mendapat manfaatnya. Tuan Yang di-Pertua, perkara seterusnya, perkara kelapan yang saya hendak sebutkan berkenaan dengan KPM. Ini kementerian yang mendapat bajet atau peruntukan yang paling tinggi. Saya menyambut baik Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan dari RM100 ke RM150. Ia betul, kita perlukannya. Cuma saya mohon satu sahaja, jangan disebabkan sesi persekolahan baharu untuk tahun 2022 bermula Mac dan peruntukan ini turun pada bulan Mac. Kalau boleh turun pada bulan Januari supaya ibu bapa untuk anak- anak yang berjumlah 3,000 ribu orang murid yang layak mendapat manfaat ini, boleh membuat persediaan untuk menghadapi sesi persekolahan baharu pada bulan Januari sebab ini kita hendak bantu mereka supaya buat persediaan sebelum sesi persekolahan.
Seterusnya di bawah KPM juga, Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia. Had untuk golongan siswa-siswi B40 di IPT. Dikatakan 600,000 orang siswa akan dapat, saya hendak tanya bila? Jangan kes berulang macam tahun lepas ketika Yang Berhormat Menteri Kewangan membentangkan bajet mengatakan 150,000 buah peranti untuk pelajar sekolah tetapi akhirnya ambil masa setahun untuk diagihkan. Ini 600,000 buah, apakah akan ambil masa empat tahun? Jadi, saya rasa kena ada satu mekanisme yang bersesuaian. Apakah siswa siswi di IPTS turut layak untuk mendapat manfaat daripada inisiatif ini? Saya mohon sebab jangan fikir semua siswa siswi di IPTS pun orang kaya. Mereka tidak patut dipinggirkan. Tuan Yang di-Pertua saya ambil masa dua minit, ada dua perkara yang singkat sahaja.
Yang Berhormat, minta rumuskan Yang Berhormat.
Ya, ya. Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan peruntukan pendidikan untuk lebih 10,000 buah sekolah kerajaan. Yang Berhormat Menteri Kewangan mengatakan ada peruntukan penyelenggaraan, saya hendak tanya berapa banyak dan Rasah dapat berapa? Rasah ada dekat 60 buah sekolah. Berapa banyak kah peruntukan untuk Parlimen Rasah? Saya juga menyambut baik RM120 juta untuk SJKC dan SJKT, RM50 juta untuk pendidikan khas. Cuma, saya hendak tegaskan pengagihannya mesti adil, detailed ataupun butiran terperinci pengagihan mesti disebutkan ataupun dikemukakan untuk tatapan umum. Zaman PH, apabila Yang Berhormat Simpang Renggam menjadi Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Kulai menjadi Timbalan Menteri semua maklumat sekolah mana yang menerima berapa banyak dipaparkan untuk tatapan umum? Akan tetapi, zaman PN tidak ada. Saya berharap zaman Keluarga Malaysia ini kita paparkan untuk makluman semua. Perkara terakhir yang saya hendak sebutkan adalah berkenaan dengan KPDNHEP. Saya hendak sebutkan kit ujian kendiri. Walaupun Yang Berhormat Menteri beberapa hari lepas pergi membuat tinjauan dan mendapati harga semasa RM6.60. Saya tetap menegaskan ada keperluan untuk – Yang Berhormat Timbalan Menteri ada, sahabat saya. Maaf. Jadi saya mohon Yang Berhormat Timbalan Menteri berbincang dengan Yang Berhormat Menteri supaya harga siling semasa RM19.90 yang masih terpakai ketika ini diturunkan, sebab apa? Walaupun kita tahu MDA sudah meluluskan hampir 50 jenama, pasaran terbuka banyak kedai boleh jual bagus, harga memang rendah. Itu cadangan saya dari bulan September lagi, kalau boleh kita turunkan harga secara berperingkat. Kalau waktu itu RM19.90 selepas itu turun RM10 mungkin pada bulan Disember nanti turun RM5. Oleh sebab saya sendiri di Rasah beli di kedai RM6 sahaja lebih murah daripada tempat yang ditinjau oleh Yang Berhormat Menteri tadi. Jadi, saya mohon supaya ditetapkan harga siling. Memang kita perlu turunkan untuk merakyatkan ataupun membolehkan lebih ramai rakyat termasuk golongan B40 dan M40 menggunakan kit ini. Tuan Yang di-Pertua, ini ada satu masalah pasal KKMM saya hendak sebutkan 30 saat sahaja Tuan Yang di-Pertua. Saya menyambut baik projek ketersambungan digital inisiatif JENDELA di bawah KKMM. Ia sesuatu yang baik, 5G tidak ada bantahan. Pembangkang pun memang bersetuju sebab ia untuk kebaikan kita bersama. Cuma saya hendak sebut. Ada sekolah di bandar, ini jangan sebut luar bandar. Luar bandar memang kita tahu keadaannya lebih teruk. Parlimen Rasah masih ada sekolah di bandar yang tidak ada unifi. ini tidak mahu sebut semua 4G, 5G. Saya hendak sebutkan secara spesifik pada petang ini sebuah sekolah SJKC Hillside. Memohon unifi pada 6 Oktober bukan 6 November, 6 Oktober. Baru dapat maklumat akan dipasang, tinjauan akan dilakukan pada 13 maknanya hari Sabtu ini. Kenapa kelewatan sebegini padahal ini adalah perkara yang perlu disegerakan. Jadi, saya mohon KKMM ambil tindakan yang sewajarnya. Kalau ada permohonan dari mana-mana sekolah, tidak kira di kawasan mana sila berikan keutamaan
sebab ini unifi ini bukan 5G. Tidak guna kita uar-uarkan, kita heboh dengan 5G tetapi sekolah di bandar dan di luar bandar menghadapi masalah unifi.
Yang Berhormat masa sudah habis Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua, saya minta maaf sebab ada ambil masa sedikit. Sebenarnya ada dua perkara tetapi saya faham kekangan masa. Kalau sempat nanti saya bahas dalam peringkat Jawatankuasa. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Rasah. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Betong.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta membahaskan Bajet 2022 ini. Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan atas pembentangan Bajet 2022 yang berjumlah RM332.1 bilion dan merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara bagi mencapai objektif ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang memfokuskan kepada usaha-usaha pemulihan ekonomi di samping membina daya ketahanan negara di era pasca pandemik COVID-19 ini. Tuan Yang di-Pertua, kemiskinan di luar bandar yang menjadi lebih buruk kerana COVID-19 ini boleh dikurangkan dengan menyediakan peruntukan khas. Rakyat Sarawak amat mengalu-alukan fokus untuk membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan melalui peningkatan pembangunan sektor pertanian. Penanaman komoditi kelapa sawit terbukti telah berjaya meningkatkan tahap sosial ekonomi di luar bandar apabila harga komoditi ini melambung naik ketika ini. Maka, saya menyarankan supaya skim bantuan penanaman baharu kelapa sawit bagi pekebun kecil diperkenalkan semula bagi meneruskan usaha meningkatkan pendapatan rakyat khususnya pada pemilik tanah adat yang rata-ratanya penduduk luar bandar di Sarawak. Terdapat seluas 600,000 hektar tanah adat yang berpotensi untuk dibangunkan. Peruntukan RM35 juta bagi melaksanakan Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil, rakyat Sarawak memohon pembahagian peruntukan yang adil bagi mempergiatkan lagi penanaman komoditi ini khususnya di kalangan penduduk luar bandar. Setakat ini terdapat 39,969 orang pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak dengan jumlah keluasan tanaman 232,647 hektar telah dibangunkan. Daripada peruntukan RM2.5 bilion bagi tahun 2022 yang bertujuan untuk terus memperkasakan pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi, saya memohon supaya peruntukan juga disalurkan kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) bagi tujuan penanaman semula mahupun penanaman baharu kelapa sawit di atas tanah adat bumiputera. SALCRA bercadang untuk membangunkan 10,000 hektar tanah adat bumiputera untuk penanaman baharu dan memerlukan peruntukan berjumlah RM178. 5 juta dan 17,586 hektar yang memerlukan RM375 juta bagi penanaman semula. Tuan Yang di-Pertua, sebagai salah satu sektor ekonomi yang terpenting, usaha kerajaan untuk memodenkan industri pertanian, jaminan makanan dan komoditi adalah sangat lebih tepat ketika kita berhadapan dengan isu sekuriti bekalan makanan dan masalah kekurangan pekerja di ladang. Sehubungan itu, peruntukan yang setimpal juga perlu disediakan untuk para peladang, penternak dan nelayan bagi berhijrah kepada penggunaan agroteknologi yang lebih meluas. Penggunaan teknologi moden ini bukan sahaja mampu untuk meningkatkan produktiviti bahkan juga berpotensi menarik lebih ramai lagi generasi muda agropreneur. Maka dengan itu, bagi merealisasikan strategi ini saya memohon supaya peruntukan tambahan kepada Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Perkhidmatan
Veterinar Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, IADA Samarahan, IADA Kalaka-Saribas-Betong dan IADA Batang Lupar bagi membangun dan menambah baik prasarana ladang, prasarana pengairan dan saliran ladang sehingga ke tahap jalan ladang yang berturap, struktur perlindungan hujan di samping mekanisasi ladang. Bagi tujuan merancakkan lagi transformasi sektor pertanian di negeri Sarawak serta untuk menarik lebih ramai penyertaan generasi muda ke dalam sektor pertanian, peruntukan tambahan juga diperlukan bagi mempergiatkan pertanian pintar seperti penggunaan teknologi IoT khususnya untuk mewujudkan lapan buah precision farming park di Sarawak. Peruntukan berjumlah RM242.4 juta diperlukan untuk membangunkan taman pintar tersebut di bawah RMke-12.
Tuan Yang di-Pertua, rakyat Sarawak juga amat berharap agar sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM1.7 bilion bagi pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan dapat diagihkan kepada pekebun kecil, penternak dan nelayan di Sarawak. Selain daripada keperluan pembangunan infrastruktur ladang yang lebih baik, petani di Sarawak juga amat memerlukan skim bantuan yang berterusan bagi pengeluaran dan penyediaan benih berkualiti tinggi, baja dan input ladang yang lain. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Sarawak juga telah merancang untuk menambahkan kawasan penanaman padi di seluruh Sarawak dgn menaik taraf kawasan skim pengairan dan saliran seluas 7,100 hektar dengan peruntukan RM269 juta. Begitu juga dengan pembukaan kawasan baharu yang berpotensi seluas 1,500 hektar dengan peruntukan berjumlah RM204 juta. Inisiatif ini adalah bertujuan untuk menyumbang kepada peningkatan pengeluaran beras ke arah mencapai kadar sara diri beras negara sebanyak 75 peratus menjelang tahun 2030. Kesudian Kerajaan Perikatan Nasional untuk memperkenalkan semula Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/ Huma sebanyak RM40 juta selepas dimansuhkan oleh kerajaan terdahulu amatlah dihargai di mana subsidi ini akan memberi manfaat kepada hampir 40,000 orang petani padi huma di Sarawak. Rakyat Sarawak berharap agar bantuan ini diteruskan. Tuan Yang di-Pertua Sarawak memiliki keluasan tanah pertanian melebihi 1.2 juta hektar yang masih belum dibangunkan serta muara sungai dan tasik empangan hidro yang luas. Kawasan-kawasan ini dikenal pasti amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pengeluaran makanan negara. Bagi tujuan ini saya memohon supaya Sarawak juga diagihkan sebahagian daripada jumlah peruntukan RM120 juta untuk melaksanakan pelbagai projek jaminan bekalan makanan seperti pembangunan industri buah-buahan dan akuakultur. Di antara kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai tinggi adalah di Food Basket Development Area dalam bahagian Betong, Sarikei dan Mukah yang dianggarkan seluas 300,000 hektar. Sarawak juga berpotensi untuk menjadi pengeluar utama hasil ikan terdapat tiga buah tasik empangan hidro yang sangat berpotensi untuk dimajukan sebagai aquaculture industry zone (AIZ). Setakat ini hanya Tasik Empangan Hidro Batang Ai di Sri Aman sahaja yang telah diterokai. Maka, peruntukan tambahan adalah di mohon untuk membangunkan Tasik Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Murum di Belaga, bahagian Kapit sebagai kawasan baharu aquaculture industry zone. Selain itu saya mohon mencadangkan untuk memperluaskan potensi kawasan muara sungai dan tanah payau untuk dibangunkan juga sebagai kawasan aquaculture industry zone. Kawasan yang telah dikenal pasti adalah di Rambungan di Kuching, Selalang di Serikei dan di Awat-Awat, Lawas di bahagian Limbang. Penyediaan peruntukan adalah diperlukan untuk membangunkan infrastruktur asas bagi menarik pengusaha kecil dan syarikat swasta ke arah pengeluaran ikan dan udang secara komersial bagi tujuan eksport.
Tuan Yang di-Pertua seterusnya pembangunan industri getah bagi meningkatkan nilai eksport getah negara kerajaan Sarawak telah mengenal pasti Bukit Sadok Agropolitan di bahagian Betong untuk dijadikan sebagai Rubber Corridor negara yang baharu. Kawasan yang mempunyai keluasan sekitar lebih 50,000 hektar amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pengeluaran dan pemprosesan hasil getah bagi menampung permintaan ke atas produk hiliran getah serta menyumbang kepada nilai eksport negara. Sehingga kini seluas 4,000 hektar tanah telah dikenal pasti untuk dibangunkan di mana pemilik tanah di kawasan tersebut telah menandatangani surat niat setuju atau letter of intent dengan Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority (SALCRA). Sehubungan itu, cadangan pembangunan Projek Bukit Sadok Agropolitan Rubber Corridor yang merangkumi rubber industrial park ini diberikan keutamaan sebagai projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan dengan ini saya memohon peruntukan bagi projek ini dalam Bajet 2022 ini. Tuan Yang di-Pertua perhatian perlu diberikan kepada penduduk bandar yang terjejas teruk kerana pandemik COVID-19 dengan menyediakan peruntukan tambahan untuk mengupayakan mereka terlibat dalam pertanian. Program Kebun Komuniti (Kebuniti), pertanian moden seperti vertical farming boleh mengatasi kawasan tanah yang tidak cukup luas dan mampu menghasilkan pulangan dalam jangka masa yang pendek. Peluasan projek ini akan memberikan manfaat kepada lebih ramai penduduk bandar untuk mengurangkan kesempitan hidup. Maka, dipohon supaya Program Kebuniti di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diperluaskan lagi ke Sarawak dalam Bajet 2022. Kita juga berharap supaya Program Agropreneur Muda (PAM), ladang kontrak, Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK), Program Desa Lestari, Program Kemajuan Kawasan (PPK), Program Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) juga dapat diperluaskan ke Sarawak bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya di luar bandar. Tuan Yang di-Pertua, usaha Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju untuk meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh bagi membantu meringankan beban sara hidup bagi 320,000 pekebun kecil yang kehilangan pendapatan semasa musim tengkujuh amat diharga. Dengan peruntukan RM190 juta kita berharap agar pekebun kecil di Sarawak juga akan mendapat manfaat yang sama dengan negeri-negeri lain. Berkenaan dengan cadangan kerajaan untuk memberikan perlindungan takaful kepada semua ahli peladang PPK seluruh Malaysia di bawah Skim Pelindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Rakyat Sarawak juga memohon supaya ia diperluaskan ke Sarawak. Sehingga kini bilangan ahli berdaftar Pertubuhan Peladang di Sarawak mencecah hampir 180,000 orang.
Saya minta rumuskan Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua minta dua minit. Manakala, berkaitan dengan cadangan kerajaan untuk menaikkan nilai ambang berkenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit bagi Sabah dan Sarawak daripada RM3,000 kepada RM3,500 serta penyelarasan kadar levi Sabah dan Sarawak kepada tiga peratus sepertimana kadar levi di Semenanjung merupakan langkah yang baik. Walau bagaimanapun, saya ingin mencadangkan supaya 50 peratus daripada jumlah kutipan nilai ini dibahagikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan daya saing industri kelapa sawit di wilayah ini. Jadi, oleh kerana masa tidak mengizinkan lagi saya dengan akhirnya Tuan Yang di-Pertua ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk membahaskan serta menyokong Bajet 2022 ini. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Betong seterusnya saya jemput Yang Berhormat Hulu Selangor.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Hulu Selangor turut serta dalam sesi pembahasan Belanjawan 2022 di peringkat dasar. Tuan Yang di-Pertua, pertama sekali Hulu Selangor ingin menyentuh soal pendidikan. Sejumlah RM450 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan peruntukan bagi Program Bantuan Awal Persekolahan yang dijangka akan memberi manfaat kepada tiga juta murid-murid yang layak. Terima kasih kepada pihak kerajaan meneruskan program bantuan ini. Hulu Selangor mohon bantuan ini dapat dipercepatkan saluran terutamanya di sekolah-sekolah kawasan luar bandar. Seterusnya mengenai peruntukan RM120 juta untuk manfaat 1,800 SJKC dan SJKT. Hulu Selangor juga ingin menyentuh sedikit mengenai pembinaan SJK(T) Ladang Minyak yang sehingga kini masih membelenggu masyarakat India di Serendah. Apakah tindakan kementerian bagi membantu menyelesaikan isu ini? Adakah kerajaan baharu ini juga dapat memberi komitmen dan mengesahkan bahawa peruntukan pembinaan sekolah yang telah diluluskan sebanyak RM6.43 juta masih kekal tersedia hingga kini. Hulu Selangor mohon respond kementerian terhadap isu ini. Masyarakat kian resah dengan isu yang berpanjangan lebih dari 10 tahun khususnya masyarakat India.
Demi masa depan anak bangsa, dipohon agar dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin supaya anak-anak dapat pendidikan yang inklusif dan kondusif. Selain itu, Hulu Selangor ingin bertanya juga apakah status peruntukan hampir RM300 juta untuk tahun 2021 bagi Rancangan Makanan Tambahan tersebut. Umum mengetahui, sekolah sering ditutup pada tahun ini, mohon pencerahan Menteri. Seterusnya mengenai peranti siswa Keluarga Malaysia dengan jumlah peruntukan RM450 juta serta komitmen syarikat telekomunikasi menyumbang tambahan sebanyak RM65 juta dijangka akan membantu seramai 600,000 orang mahasiswa dan juga mahasiswi daripada keluarga B40 di Malaysia. Ini Hulu Selangor ingin tegur, jangan jadikan bantuan ini seperti agihan peranti untuk murid sekolah. Usahanya seakan-akan “hangat-hangat tahi ayam”. Pelaksanaannya tidak menyeluruh dan tidak mencapai kepada kesemua golongan sasar. Sehingga kini masih ramai masyarakat yang mempersoalkan, begitu juga kepada Ahli-ahli Parlimen yang tertanya-tanya pelbagai soalan yang tidak dijawab. Selain itu, Hulu Selangor minta agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan kerajaan untuk membeli tablet buat para mahasiswa dan juga mahasiswi. Pembelian ini dilihat kurang menepati keperluan dan sasarannya. Diharapkan kerajaan dapat menambah baik skim ini dengan menukar daripada tablet kepada komputer riba dan memastikan kualitinya semua mencapai tahap standard. Ini sesuai dengan keperluan belajar untuk para mahasiswa dan juga mahasiswi. Komputer riba dapat digunakan bukan sahaja untuk proses pembelajaran, malah mereka boleh gunakan untuk kerja-kerja kajian dan juga penyiapan projek. Mohon pihak kementerian mempertimbangkan semula cadangan ini. Akhir sekali bagi aspek pendidikan mengenai diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN. Hulu Selangor menyambut baik inisiatif ini, malah anak-anak muda juga mengucapkan syukur di atas pengumuman tersebut. Ini satu inisiatif yang baik bagi membantu para graduan dan bebas hutang di usia yang muda. Namun, terdapat juga suara-suara kecewa anak-anak muda yang mendapatkan pinjaman seperti MARA. Dipohon agar pihak kerajaan juga dapat memperluaskan diskaun bayaran balik ini kepada pinjaman MARA. Umum mengetahui majoriti peminjam ini adalah di kalangan anak-anak bumiputera. Justeru, sekiranya diskaun ini diturunkan dan diperluaskan kepada peminjam pendidikan MARA, pastinya anak-anak muda ini dapat menyambut baik Bajet 2022. Inisiatif ini akan lebih mencapai sasaran terutamanya kepada golongan B40. Tuan Yang di-Pertua, perkara yang kedua, Hulu Selangor ingin menyentuh berkenaan aspek kesihatan. Mengenai fasiliti kesihatan, antara perkara yang kerap Hulu Selangor bangkitkan ialah keperluan mendesak di daerah luar bandar. Hulu Selangor
mohon pencerahan adakah pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Sentosa akan dilaksanakan pada tahun 2022. Bagaimana pula dengan permohonan menaik taraf pusat hemodialisis serta pembinaan bangunan baharu Bahagian Kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu? Mohon ada respons positif daripada Menteri. Seterusnya mengenai pegawai-pegawai kontrak KKM. Kerajaan mengumumkan persetujuan untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 orang pegawai perubatan, pergigian dan juga farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan ini. Ini dilihat hanya sebagai satu langkah sementara. Ia tidak menyelesaikan permasalahan akar iaitu penyerapan pegawai-pegawai ini ke perjawatan tetap. Malah pihak kerajaan langsung tidak menyentuh isu ini dan mengakibatkan ramai pegawai merasa amat kecewa. Namun, kerana tanggungjawab yang digalas, mereka teruskan juga. Sebagai sebuah kerajaan yang sepatutnya melindungi penjawat dan pegawai awam, perkara ini harus ditangani secara berperingkat. Kerajaan seharusnya mengambil langkah untuk menyerap sebilangan mereka ke perjawatan tetap mulai tahun 2022. Tuan Yang di-Pertua, perkara yang ketiga mengenai Bantuan Keluarga Malaysia iaitu singkatannya BKM. Hulu Selangor pohon agar pihak Kementerian Kewangan mengembalikan balik Skim Khairat Kematian seperti yang pernah diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan iaitu Skim Khairat Kematian Bantuan Sara Hidup (BSH). Skim ini memberi khairat kematian berjumlah RM1,000 kepada penerima memanfaatkan di bawah B40. Bantuan ini amat memberi impak besar kepada masyarakat B40. Seterusnya kerajaan telah mengambil langkah menambah baik syarat kelayakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019. Hulu Selangor mencadangkan agar skim BKM juga mengguna pakai Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019. Hal ini kerana rakyat kini dihimpit kesengsaraan hidup di bawah pandemik COVID-19. Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia penularan COVID-19 mengakibatkan jumlah isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan meningkat kepada lebih 600,000 berbanding 400,000 pada tahun 2019. Ini amat mendukacitakan. Malah negara dikejutkan dengan berita yang lebih membimbangkan apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan 6 juta orang pencarum mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun masing- masing. Lebih mengejutkan apabila KWSP turut menyatakan bahawa lebih separuh pencarum ini memiliki baki caruman tidak sampai RM1,000 di dalam akaun. Apa akan jadi pada masa depan rakyat Malaysia? Ini perlu ditangani dengan segera. Setelah bajet diumumkan oleh Menteri Kewangan, kedengaran dengan jelas keluh kesah lapisan masyarakat M40 yang sering dipinggirkan. Golongan M40 yang mempunyai tanggungan ramai turut terkesan. Hulu Selangor mohon supaya Kerajaan Pusat bantu ringankan juga beban golongan M40. Jika boleh, cadangan berikanlah pelepasan cukai tambahan buat golongan M40. Sekurang-kurangnya dengan cara ini, mereka mempunyai kewangan lebihan sedikit di tangan untuk meneruskan kehidupan mereka, khususnya di dalam pandemik COVID-19. Tuan Yang di-Pertua, perkara keempat. Hulu Selangor ingin menyentuh aspek pengangkutan. Semasa sesi pembentangan, Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan berjumlah RM80 juta bagi Dana Bantuan Sementara Bas Henti-henti. Akan tetapi apabila diteliti Buku Anggaran Perbelanjaan 2022, tidak ada peruntukan dikhususkan buat inisiatif ini. Begitu juga program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti, tiada sebarang peruntukan bagi tahun 2022. Begitu juga butiran bagi penyelenggaraan KTMB juga dikosongkan bagi tahun 2022. Apakah maksud yang dibawakan oleh kementerian bagi bajet kali ini? Atau hanya sekadar ingin menunjukkan bahawa bajet kali ini bersifat inklusif sedangkan realitinya tidak diketahui. Mohon respons Menteri bagi merungkaikan soalan- soalan ini.
Tuan Yang di-Pertua, perkara yang kelima. Hulu Selangor ingin bertanya, apakah jadi pada JASA yang telah dijenamakan semula kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM). Kelihatan seperti tiada sebarang peruntukan untuk tahun 2022 tetapi terdapat maklumat bahawa jabatan ini masih berfungsi dan telah ditukarkan ke bawah penyeliaan kementerian lain. Sekiranya masih diteruskan untuk tahun 2022, Hulu Selangor tetap dengan pendirian bahawa perbelanjaan ini tidak diperlukan pada masa sekarang, negara masih bergelut dalam memerangi pandemik COVID-19. JKOM ini adalah pembaziran wang rakyat oleh pihak kerajaan. Tidak perlu ditubuhkan jabatan khas untuk membazirkan wang rakyat. Malah Hulu Selangor mencadangkan sekali lagi agar Jabatan Penerangan (JaPen) terus diperkasakan. Peranan JaPen yang begitu dekat dengan komuniti dan sering menganjurkan pelbagai program berimpak baik buat masyarakat. Ia tidak dinafikan prestasinya yang cemerlang. Malah Hulu Selangor memuji Jabatan Penerangan Hulu Selangor yang aktif dan tidak ketandusan idea dalam menyebar maklumat yang efektif. Justeru, diharapkan kerajaan dapat menilai semula keputusan kerajaan sekiranya JKOM ini masih dilaksanakan pada tahun 2022. Begitu juga dengan peruntukan Penggerak Komuniti Tempatan dilihat untuk tahun 2022 masih diberikan peruntukan RM8 juta, juga dilihat ia tidak wajar diteruskan. Seharusnya kerajaan mengoptimumkan program sedia ada seperti komuniti Rukun Tetangga. Ia juga antara produk kerajaan yang berjaya dilaksanakan dan impak sampai ke pelosok negara.
Seharusnya kerajaan memperkasakan sahaja KRT, bukannya menubuhkan program baharu dan kelihatan masing-masing dengan izin, working in silo sedangkan di bawah pentadbiran kerajaan yang sama. Oleh itu, Hulu Selangor mohon dengan semangat Keluarga Malaysia, hentilah peruntukan yang bersifat menyebelahi sesetengah politik sahaja. Tuan Yang di-Pertua, perkara kelima mengenai Jabatan Landskap Negara. Dilihat adanya peruntukan bagi pembangunan landskap. Hulu Selangor mohon pihak kementerian bantu kawasan Hulu Selangor bagi menaik taraf landskap di kawasan Perigi Tujuh Serendah. Kawasan pelancongan secara yang dilihat berpotensi untuk menarik pelancong. Malah, pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan yang sering dijalankan di kawasan tersebut. Hulu Selangor memerlukan kepakaran daripada pihak Jabatan Landskap Negara untuk bersama-sama membangunkan potensi yang ada di Perigi Tujuh Serendah. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya Hulu Selangor ingin menyentuh aspek infrastruktur. Hulu Selangor meneruskan perjuangan untuk mengangkat permohonan infrastruktur jalan di daerah ini agar dapat dinaiktarafkan, terutamanya bagi jalan persekutuan FT01. Selain itu, FT1208 bersimpangan Kampung Koskan ke Sungai Buaya yang sering melibatkan kemalangan kenderaan berat dan juga FT3208 Missing Link dari simpang FT01 Sungai Choh ke Bukit Beruntung. Antara jalan raya yang kritikal yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana saban tahun peningkatan kes kematian yang sering berlaku. Tuan Yang di-Pertua, perkara yang terakhir sedikit sahaja, Hulu Selangor ingin menyentuh mengenai aspek belia dan sukan. Hulu Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri sebelum ini yang bersama-sama ingin menjayakan aspirasi agar sebuah kompleks sukan Daerah Hulu Selangor diwujudkan di daerah ini. Tapak yang dicadangkan telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dalam proses pewartaan. Justeru itu, saya berharap pihak Yang Berhormat Menteri yang baharu ini juga dapat meneruskan inisiatif ini murni. Kompleks ini pastinya akan memberi seribu manfaat buat warga Hulu Selangor. Belia-belia pastinya akan lebih aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kesukanan apabila terbinanya kompleks ini.
Hulu Selangor juga mohon sokongan padu daripada pihak kementerian untuk membangunkan fasiliti sukan ekstrem di daerah ini agar anak-anak muda tempatan yang begitu semangat untuk membangunkan sukan ekstrem dapat didorong dan disokong sepenuhnya. Justeru itu, mohon pihak kementerian dapat memberi peluang dan mendengar cadangan anak muda ini serta membimbing mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan agar aktiviti ini dapat dilaksanakan dan memastikan aspek teknikal dan keselamatan yang optimum, di samping membangkitkan keterujaan para peminat sukan ekstrem. Tuan Yang di-Pertua, sekian sahaja perbahasan Hulu Selangor bagi peringkat dasar Bajet 2022. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Selangor. Saya ingin mengumumkan kumpulan terakhir yang akan berbahas pada petang ini ialah Ahli-ahli Yang Berhormat berikut. Yang Berhormat Stampin, Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Batu, Yang Berhormat Jelutong dan akhir sekali Yang Berhormat Kuala Kedah. Silakan Yang Berhormat Stampin.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2022. Apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersekongkol bersama PAS dan UMNO dan Bersatu untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan dalam tahun 2020. GPS telah mendabik dada mendakwa bahawa merekalah kingmaker dan dengan kedudukan kingmaker itu mereka boleh dapat lebih peruntukan untuk Sarawak. Inilah janji mereka kepada orang Sarawak. Walau bagaimanapun, bagi Belanjawan 2022 nampak pihak yang menggelar diri mereka kingmaker ini tidak berjaya memperoleh lebih peruntukan untuk Sarawak tetapi sebaliknya Sarawak kini mendapat kurang daripada nisbah saiz belanjawan daripada apa yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk Sarawak. Dalam perbelanjaan terakhir Pakatan Harapan untuk tahun 2020, jumlah perbelanjaan pembangunan adalah RM56 bilion. Daripada RM56 bilion itu, peruntukan khusus untuk negeri Sarawak adalah RM4.5 bilion iaitu merupakan 8.0 peratus. Bagi 2022, jumlah perbelanjaan pembangunan adalah RM75.6 bilion. Namun, Sarawak hanya mendapat RM4.6 bilion iaitu hanya 5.9 peratus daripada perbelanjaan pembangunan. Jumlah lapan peratus daripada RM75.6 bilion adalah RM6.5 bilion. Ini bermakna berbanding dengan peratusan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Kerajaan Perikatan Nasional telah mengurangkan RM2 bilion untuk Sarawak dalam perbelanjaan pembangunan untuk tahun 2022. Semalam saya telah mendengar Yang Berhormat daripada Sibuti mengeluh tentang peruntukan yang menyedihkan untuk Sarawak ini dalam Belanjawan 2022 ini. Ramai lagi Backbenchers GPS mengadu dalam perbahasan mereka bahawa peruntukan di bawah Bajet 2022 tidak mencukupi dan meminta agar ia ditambahkan. Nampaknya kedudukan kingmaker GPS dalam Kerajaan Perikatan Nasional kini secara rasminya adalah bertukar kepada king beggar. Dari kingmaker jadi king beggar sekarang. Orang Sarawak memang rugi akibat pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional yang mana GPS adalah sebahagian daripadanya. Tuan Yang di-Pertua, dalam belanjawan ini terdapat satu lagi peruntukan yang dilihat tidak adil melibatkan diskriminasi mengikut garis perkauman. Sebanyak RM11.4 bilion telah diperuntukkan untuk agenda pemerkasaan bumiputera. Sebaliknya hanya RM200 juta diperuntukkan khusus untuk kaum Cina dan RM145 juta untuk masyarakat India iaitu 97.06 peratus untuk bumiputera, 1.7 peratus Cina dan 1.24 peratus untuk India. Ini memang tidak adil sama sekali.
Saya tidak membantah kerajaan untuk membantu orang Melayu yang miskin namun terdapat juga ramai orang Cina, India yang miskin, yang mereka memerlukan bantuan daripada kerajaan. Mengapa peruntukan itu tidak boleh diberikan secara lebih adil? Tambahan pula di Sarawak lebih ramai orang Dayak yang miskin, mengapa mereka langsung tidak disebut oleh Menteri Kewangan dalam ucapan Belanjawan 2022? Malah dapatan dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2019 mendedahkan bahawa wilayah yang mempunyai median pendapatan isi rumah boleh guna iaitu disposable household income tertinggi adalah Putrajaya dengan angkanya RM9,045 satu isi rumah. Kita semua tahu majoriti penduduk di Putrajaya itu adalah daripada kaum Melayu. Daripada segi pendapatan isi rumah boleh guna Putrajaya yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga Melayu adalah wilayah terkaya di seluruh negara. Lebih tinggi dari Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Sebaliknya kalau kita tengok angka untuk Sarawak, pendapatan median isi rumah boleh guna Sarawak dan Sabah masing-masing hanya RM3,994 untuk Sarawak dan RM3,788 untuk Sabah. Memandangkan terdapat program khusus yang disebutkan untuk membantu orang Melayu, kenapa tiada program khusus untuk Sarawak dan Sabah untuk merapatkan jurang pembangunan antara dua negeri tersebut dan Malaysia Barat? Di negara kita sejak dulu terdapat dua jurang perbezaan yang besar dalam pembangunan iaitu di antara kaum dan di antara wilayah.
Mengenai jurang perbezaan di antara kaum, ada NEP telah dilaksanakan selama beberapa dekad dan kini terdapat sejumlah besar orang Melayu yang berpendapatan sederhana dan tinggi seperti yang ditunjukkan dalam statistik DOSM. Walau bagaimanapun, sejak pembentukan Malaysia sehingga kini, masih belum ada rancangan khusus yang seperti NEP untuk merapatkan jurang perbezaan dalam pembangunan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat. Di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, terdapat satu usaha dan fokus untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada perbelanjaan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak. Itu kita telah melakukan selama dua tahun berturut-turut semasa Kerajaan PH membentangkan belanjawan. Akan tetapi malangnya selepas Perikatan Nasional (PN) ambil alih Kerajaan Persekutuan, usaha ini tidak diteruskan. Oleh itu, sudah tiba masanya Kerajaan Pusat perlu mengemukakan satu rancangan lima tahun untuk merapatkan jurang antara Timur dan Barat daripada segi tahap pembangunan. Isu ketiga Tuan Yang di-Pertua, di peringkat kebangsaan, saya berada dalam Majlis Pemulihan Negara iaitu badan yang bertanggungjawab merancang pemulihan negara daripada pandemik COVID-19. Salah satu faktor utama pemulihan ekonomi kita ialah keyakinan sektor swasta dan pelabur asing. Kini kebelakangan ini, ada dua peristiwa yang langsung tidak membantu pemulihan ekonomi kita. Pertamanya, adalah isu mengenai wiski Timah yang telah menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa antarabangsa (international laughing stock). Terdapat seorang backbencher yang mengatakan bahawa meminum ‘Timah’ adalah seperti meminum ‘Fatimah’ dan ada juga mengatakan bahawa jenama Timah mengelirukan orang Melayu. Kami tidak ada hak untuk menghalang orang lain daripada membuat kenyataan yang gila, lucu dan tidak rasional. Itu adalah hak kebebasan bersuara mereka. Kenyataan sebegitu hanya menyedapkan perbualan harian kita supaya kita ada lebih banyak jenaka, more jokes for us to laugh at. Akan tetapi apa yang paling memudaratkan negara dan ekonomi kita adalah kerajaan memandang serius jenaka sebegitu dan bertindak ke atasnya. Pengeluar wiski Timah telah dipanggil oleh Yang Berhormat Menteri KPDNHEP, Yang Berhormat Kapit dan diminta agar nama wiski ditukar. Tahukah Yang Berhormat Menteri, dalam perniagaan, nama jenama sesuatu produk merupakan aset yang
terpenting perniagaannya. Ia bukan boleh diubah nama dengan sia-sia, apatah lagi wiski Timah telah memenangi anugerah daripada Pertandingan Wiski Antarabangsa. Bukan setiap hari produk dan jenama Malaysia memenangi anugerah daripada pertandingan antarabangsa. Sepatutnya kita harus berasa bangga dengan pencapaian itu, apatah lagi pengeluar telah melakukannya tanpa bantuan geran atau peruntukan daripada kerajaan. Ia adalah satu perniagaan yang langsung tidak tergantung kepada apa-apa bantuan daripada kerajaan. Jika kita lihat Bajet 2022, daripada RM11.4 bilion untuk membantu bumiputera, RM4.8 bilion diperuntukkan untuk membantu perniagaan bumiputera. Bolehkah Yang Berhormat Menteri memberitahu kita, berapa banyak perniagaan ini yang kerajaan telah mencurahkan berbilion-bilion setiap tahun untuk bantuan-bantuan geran atau program bantuan telah berjaya memenangi anugerah antarabangsa. Di sini kita mempunyai satu perniagaan yang berjaya atas usaha dan wangnya sendiri. Akan tetapi, kerajaan akan memusnahkan perniagaan tersebut dengan meminta mereka menukar nama wiski mereka dan memulakan jenama baharu. They have to start all over again. Saya berasa amat sedih atas tindakan kerajaan yang sebegitu dan lebih sedih kerana Yang Berhormat Menteri yang membuat permintaan yang sedemikian adalah seorang daripada Sarawak yang kononnya lebih rasional dan lebih open-minded. Nampaknya Yang Berhormat Menteri KPDNHEP telah tunduk kepada rakan-rakan PAS. Yang Berhormat dalam Kabinet, inilah contoh GPS mengikuti fahaman PAS. Daripada permukaannya, keputusan sedemikian mungkin dilihat hanya memberi kesan kepada sebuah syarikat tetapi pada hakikatnya ia mencerminkan ketidakrasionalan kerajaan hari ini selagi terdapat sekumpulan fanatik yang mengadu tentang jenama sesuatu produk tidak kira sama ada aduan itu berasas ataupun tidak, ia terpaksa tukar nama. Dengan dasar kerajaan yang seperti ini, siapa berani melabur untuk mempromosikan buatan Malaysia, nama jenama-jenama Malaysia. Peristiwa kedua yang memberikan kesan buruk kepada pemulihan ekonomi kita adalah penetapan 51 peratus saham ekuiti bumiputera sebagai syarat pembaharuan lesen penghantaran (forwarding license) oleh kastam. Ini adalah daylight robbery. Orang yang bukan Islam dan bukan bumiputera bekerja keras untuk membina sebuah syarikat. Selepas dia berjaya, kerajaan mengenakan syarat dan memaksa pemilik bukan bumiputera untuk mengirakan saham ekuiti mereka dalam syarikat kepada bumiputera. Dengan kerajaan dan dasar sebegitu, siapa lagi mahu melabur di negara kita? Ahli Parlimen Bintulu juga mengkritik polisi itu dalam perbahasannya. Walaupun begitu, hakikatnya GPS sendiri yang membantu membentuk kerajaan ini dan Ahli Parlimen Bintulu merupakan seorang Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan PN ini. You are a culprit of this racially discriminatory policy. Dalam hal ini bagi forwarding license, forwarding company, kastam yang mengenakan syarat yang sedemikian. Pada mulanya ia melibatkan 30 peratus saham dan kini mahu 51 peratus saham kawalan. Untuk perniagaan lain, memang terdapat agensi kawal selia kerajaan. Adakah agensi-agensi akan bersaing untuk menunjukkan kehebatan mereka untuk memperjuangkan agenda bumiputera itu? Adakah ini polisi Kerajaan PN? Jika kita fikirkan semula, mungkin satu blessing in disguise. Ada Grab yang berpangkalan di Singapore, walaupun syarikat itu dimulakan dan dimiliki oleh rakyat Malaysia. Dengan kejayaan Grab, jika ia berpangkalan di Malaysia, Kementerian Pengangkutan mungkin akan juga mengenakan syarat yang sama untuk memaksa pemilik peniaga Grab untuk mengirakan 51 peratus saham mereka kepada bumiputera. Dengan dasar rompakan secara terang-terangan itu, kebanyakan jika tidak semua perniagaan, pelabur pemula teknologi akan mempertimbangkan untuk berpindah ke luar negara jika boleh. Pada penghujung hari, negara kita akan ditinggalkan. Hanya dengan syarikat- syarikat yang mediocre, yang substandard yang perlu bantuan daripada kerajaan untuk berniaga. Itulah sebabnya setiap tahun, kerajaan perlu memperuntukkan berbilion-bilion untuk membantu perniagaan tertentu. Sedangkan perniagaan yang membuat keuntungan, mereka terpaksa berhijrah atau berpindah ke luar negara.
Adakah itu kerajaan mahu untuk Malaysia? Berapa lama kerajaan boleh mengekalkan dasar sebegitu? Oleh itu, sudah tibalah masanya kerajaan menghentikan semua itu, syarat 30 peratus dan syarat 51 peratus saham bumiputera tersebut. Akhirnya dasar sebegitu hanya akan menjadikan segelintir orang Melayu yang kaya lebih kaya tetapi pada umumnya orang Melayu yang miskin tetap jadi lebih miskin. Ia tidak akan memberikan manfaat kepada negara kita pada keseluruhannya.
Boleh habiskan?
Ya— Oh! Sudah sampai masa. Satu isu yang lastnya dan yang cepat ya.
Habiskan.
Iaitu berkenaan dengan MITRA. Ada juga orang India di Sarawak tetapi setakat ini, saya terima aduan daripada kaum India bahawa MITRA tidak pernah beri apa-apa peruntukan atau bantuan kepada orang atau kaum India di Sarawak. OIeh itu, saya minta kerajaan untuk melihat dan mempertimbangkan aduan ini dan untuk membuat apa yang sepatutnya dibuat. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Stampin. Seterusnya Yang Berhormat Tampin. Dipersilakan.
Bismillahi Rahmani Rahim... [Berselawat] Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada Tampin untuk turut serta membahaskan Belanjawan 2022 pada kali ini. Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan yang telah membentangkan satu belanjawan tertinggi dalam sejarah negara buat setakat ini sejumlah RM332.1 bilion. Dalam perbahasan ini saya akan memfokuskan kepada empat perkara: (i) isu kemiskinan bandar dan luar bandar; (ii) isu pengangguran dalam kalangan belia tercicir; (iii) isu pendidikan; dan (iv) isu pentadbiran yang baik. Tuan Yang di-Pertua, keempat-empat isu tersebut perlu diketengahkan dan mendapat perhatian serta pertimbangan yang sewajarnya dari kerajaan Keluarga Malaysia. Slogan yang sedap diungkapkan namun belum pasti keindahan, kecantikan dan keharmonian pelaksanaannya dapat diterjemahkan. Perkara yang saya sentuh ini perlu dilihat secara serius dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk diambil tindakan yang sewajarnya serta diselesaikan dalam masa yang singkat dan terdekat. Belanjawan yang begitu besar sekiranya tidak diurus dengan baik, kita khuatir apa yang berlaku terhadap belanjawan lepas yang telah mendapat teguran yang serius daripada Ketua Audit Negara kerana berlaku ketirisan, kegagalan dan kecuaian pelaksanaannya. Pelaksanaan belanjawan ini perlu dicermati dan dikendalikan dengan baik. Kita berharap kerajaan cakna dan serius menangani masalah ketirisan, kebocoran dan penyelewengan dalam perbelanjaan kewangan negara. Kemiskinan ialah isu yang berterusan. Saban tahun diketengahkan dan dibangkitkan oleh ramai pihak. Malahan ia menjadi agenda utama setiap pembentangan belanjawan negara. Kita semua sedia maklum kemiskinan bukan sahaja terjadi di luar bandar tetapi juga berlaku di bandar. Jurang pendapatan dan nilai atau corak kehidupan dalam masyarakat semakin menjarak antara masyarakat bandar dan luar bandar. Kesenjangan hidup ini amat ketara apabila kita berhadapan dengan gejala COVID-19 dan pasca COVID-19. Ia bukan sahaja dalam kalangan B40, termasuk juga
M40. Malah, kini terdapat kalangan M40 telah tergolong dalam kumpulan B40. Perkara ini telah disentuh oleh pembahas-pembahas yang terawal daripada saya. Tuan Yang di-Pertua, sekalipun telah banyak usaha dilakukan namun masih ramai masyarakat bandar dan luar bandar amat terkesan dalam menyelesaikan masalah keperluan asas mereka. Mereka tidak mempunyai rumah sendiri, mereka terpaksa tinggal menumpang di rumah keluarga. Mereka tidak mempunyai pendapatan tetap, mereka tidak mempunyai pekerjaan yang boleh membantu diri dan keluarga dan tidak mampu bersaing dengan orang lain. Fenomena ini akan berterusan kalau tidak ditangani dengan baik. Cuba kita bayangkan apa yang akan berlaku di mana mereka akan kekal dengan kehidupan yang sedia ada dan tidak mampu untuk bangun seperti masyarakat lain. Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Apakah strategi yang telah dan akan dilaksanakan oleh kementerian yang saya sebutkan tadi dalam memastikan setiap Keluarga Malaysia mempunyai rumah sendiri? Bagaimana rangka kerja kementerian memastikan golongan ini mendapat dan mempunyai pekerjaan yang boleh membangunkan diri dan keluarga mereka masing- masing? Apakah usaha kementerian dalam melestarikan kehidupan masyarakat dan menangani permasalahan yang Tampin bangkitkan agar kesejahteraan hidup bersama dapat dicapai di semua peringkat masyarakat. Tampin juga menyentuh isu pengangguran kumpulan belia di bandar dan di luar bandar, khususnya belia remaja yang tidak mampu atau tidak layak melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam ataupun swasta. Mereka ini telah tercicir daripada arus perdana pendidikan negara. Hampir 62,446 pelajar SPM 2020 gagal mendapat sijil SPM. Kumpulan ini mesti diambil perhatian dengan serius. Sekiranya tidak, ia akan memberi kesan kepada pembangunan negara. Mereka juga wajar dilibat sama untuk membangunkan negara dan turut serta hidup bersama dengan warganegara lain sebagai sebuah Keluarga Malaysia. Persoalannya, apakah strategi yang dilakukan oleh kerajaan dalam menatang mereka agar sama-sama menikmati kehidupan dalam Keluarga Malaysia yang seimbang dan sedarjat? Saya ingin bertanya, apakah perancangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian yang bertanggungjawab dalam membangunkan keusahawanan juga Kementerian Luar Bandar dalam menangani golongan tersebut lebih sistematik dan komprehensif. Bagaimana ia dilaksanakan? Sejauh mana golongan ini dilibatkan dalam membangunkan diri dan keluarga mereka dan sejauh mana golongan ini telah diambil perhatian yang sepatutnya dilakukan? Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan yang besar dalam belanjawan kali ini. Kita berharap dengan peruntukan yang sedemikian ia boleh menyelesaikan sedikit sebanyak masalah yang telah lama dihadapi yang belum dapat diselesaikan oleh kementerian dalam pembaikan fizikal sekolah daif khususnya sekolah- sekolah luar bandar, sekolah di Sabah dan Sarawak. Kita ingin melihat keadaan sekolah yang daif ini dapat dinaikkan taraf sama dengan sekolah yang dinikmati oleh sekolah- sekolah yang telah lama mendapat kemudahan dan struktur bangunan yang baik dan canggih. Peruntukan ini juga harus memastikan kebajikan warga pendidik seperti guru, murid dan kakitangan lain dapat diselesaikan dengan baik dan sempurna seperti isu pengajaran dan pembelajaran dapat diatasi secara tuntas. Kita tidak mahu lagi mendengar keluhan daripada tenaga pendidik berkaitan dengan beban tugas yang tidak sepatutnya dilakukan, menggunakan pendapatan sendiri untuk kegiatan pendidikan, kebajikan pelajar, kemudahan pembelajaran, keselesaan belajar pelajar dapat diselesaikan dan bebanan ibu bapa dapat dikurangkan. Kita mahu jaminan yang tuntas daripada kementerian dapat diselesaikan, bukan hanya sekadar jawapan dalam perancangan dan juga pertimbangan.
Tuan Yang di-Pertua, harta negara mesti diurus dengan baik, dengan penuh integriti. Kerajaan mesti ada komitmen politik yang kuat untuk menghentikan sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa. Perbelanjaan negara mesti dikendalikan dengan cermat dan teliti. Sebarang bentuk ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa mesti diambil tindakan yang tegas, adil dan dibanteras sehingga ke akar umbi. Tidak ada pihak yang boleh terlepas dalam segala bentuk penyelewengan yang mereka lakukan. Ambillah iktibar daripada perwatakan Umar al-Khattab, apabila anaknya Abdullah bin Umar datang ke kantor untuk bertanyakan sesuatu. Umar bertanya kepada Abdullah, apakah kedatangan itu atas urusan negara atau urusan keluarga. Kalau urusan negara, Umar akan melayan Abdullah sama sebagaimana kakitangan yang lain dan sekiranya urusan Abdullah atas urusan keluarga, Umar memohon izin memadam semua lampu dalam bilik kantor beliau kerana cahaya lampu yang dipasang daripada hasil cukai yang dikutip daripada rakyat. Begitulah tegas dan juga integriti yang ditonjolkan oleh Khalifah Amirul Mukminin. Saya ingin mendapat kepastian dan komitmen yang tinggi daripada kerajaan.
Apakah jaminan kerajaan dalam memastikan tidak akan berlaku sebarang bentuk ketirisan dan penyelewengan agar dapat diberhentikan dengan tegas dan tuntas dalam kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab dan mengendalikan urusan belanjawan negara. Tuan Yang di-Pertua, dalam suasana kita berhadapan untuk memulihkan ekonomi negara dalam pasca COVID-19, kerajaan sewajarnya lebih bijak berbelanja dengan mengikut keperluan keutamaan. Kerajaan lebih mahir dan faham dalam menangani masalah ini. Sebagai contoh adalah tidak wajar kita mendirikan bangunan mencakar langit – sekiranya terdapat rakyat yang masih tidak mampu memenuhi keperluan hidup seperti rumah kediaman untuk tinggal, pakaian yang baik, makanan dan minum seharian yang tidak mencukupi. Kekayaan negara harus diagih dengan wajar. Kekayaan negara harus dinikmati dan dikongsi bersama. Kekayaan negara tidak wajar dibolot oleh segelintir individu dalam negara. Pastikanlah kekayaan negara dinikmati bersama oleh Keluarga Malaysia keseluruhannya tanpa mengenal batas bangsa, sempadan negeri dan juga agama. Tuan Yang di-Pertua, Tampin menuntut agak kerajaan Keluarga Malaysia akan betul-betul menjadi satu realiti yang bermakna. Kita bukan sahaja mencipta satu slogan mudah diungkap, sedap didengar tetapi tidak mampu menterjemahkannya dalam realiti kehidupan masyarakat seharian. Kerajaan Keluarga Malaysia mesti mempunyai asas dan dasar yang dapat difahami oleh seluruh rakyat dan mendasar. Kita tidak mahu kerajaan Keluarga Malaysia hanya dapat dilihat sebagai slogan meraih simpati sekiranya ia tidak dapat difahami oleh rakyat. Malah masih terdapat sentimen kaum dan agama berkumandang mendasari dan bermain melatari bicara ahli-ahli dan parti-parti politik untuk meraih sokongan. Berhentilah bermain dengan ketaksuban kaum dan isu agama. Kita adalah satu keturunan, satu bangsa, satu wawasan. Saya mengharapkan satu jaminan yang tuntas dari kerajaan khususnya Kementerian Perpaduan dan kementerian yang berkaitan dengan agama supaya isu-isu agama dan isu-isu kaum ini dapat diberhentikan secara jelas dan tuntas. Sekian, terima kasih. Saya menyokong Belanjawan 2022.
Terima kasih Yang Berhormat Tampin. Seterusnya Yang Berhormat Batu.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, untuk memberi ruang kepada Batu untuk membahaskan. Batu mengalu-alukan pembentangan Bajet 2022 tetapi beberapa perkara perlu digubal dan tatacara Bajet 2022 harus difokuskan
kepada pembangunan negara dan bukannya berasaskan pembangunan sesuatu kelompok masyarakat sahaja. Tuan Yang di-Pertua, ini adalah negara majmuk. Setiap warganegara mempunyai tanggungjawab untuk memajukan negara. Tiada seorang rakyat dalam negara ini harus diabaikan atau dianaktirikan. Trend kemajuan sesama negara bersandarkan warna kulit dan keturunan adalah satu sistem yang telah usang dengan izin, obsolete. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) oleh kerajaan untuk kemajuan dan transformasi masyarakat India. RM100 juta setahun telah diperuntukkan untuk program kemajuan dan transformasi kaum India melalui program vokasional dan latihan kemahiran tertentu. Saya kurang pasti matlamat dan fokus MITRA dalam merealisasikan transformasi kaum India. Yang jelas, adalah beberapa juta ringgit telah pun dibelanjakan tetapi siapakah yang telah mendapat faedah daripada dana ini? Rakyat di bawah sana, kaum India tahu mereka tidak dapat faedah daripada dana MITRA ini. Adakah wang yang diperuntukkan untuk kemajuan kaum India benar-benar sampai kepada masyarakat akar umbi yang inginkan kemajuan atau dana ini sampai kepada beberapa NGO dan individu yang bergelar ahli perniagaan atau kepada yang bergelar jutawan. Ada juga beberapa postings dalam social media menunjukkan beberapa orang ahli politik juga telah mendapat dana sehingga juta ringgit. Ada yang juga Timbalan Menteri, ada yang juga ketua parti politik dan ramai individu dan organisasi yang mempunyai berkepentingan dengan ahli-ahli politik. Menurut daripada Laporan Audit 2018 dan 2019, banyak keraguan tercatat dalam pengendalian program-program latihan. Laporan tidak lengkap dan kursus yang tidak relevan dan banyak lagi perkara tidak sempurna yang dilaporkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara. MITRA juga sepatutnya mendapat RM100 juta, hanya mendapat RM65 juta pada tahun 2020 dan RM49.1 juta pada tahun 2021. Hutang yang tertunggak sebelum ini adalah alasan yang diberikan oleh Menteri Perpaduan. Ini beri gambaran jelas bahawa berlakunya ketirisan dan kegagalan agensi kerajaan untuk mentadbir MITRA. Ini tidak adil buat komuniti India terutamanya kepada belia-belia India yang mendahagakan kemajuan dan untuk menukar gaya kehidupan mereka. Saya mencadangkan dana transformasi MITRA dinaikkan kepada RM250 juta setahun dari RM100 juta setahun sekarang. Satu badan independent pengawasan pengendalian kursus-kursus MITRA juga perlu diwujudkan di semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat. Sebuah syarikat NGO dan individu yang tidak menjalankan kursus seperti yang tertera di dalam proposal pengambilan dana harus disenaraihitamkan dan dana yang diambil harus dipulangkan kepada MITRA. Dana yang telah ditarik balik harus dimasukkan ke dalam tabung khas MITRA dan digunakan untuk program-program yang memberi impak kepada komuniti India. Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin berbahas berkaitan dengan isu pendidikan. Kementerian Pendidikan dapat satu dana yang besar iaitu RM52.6 bilion. Namun begitu, saya tertarik dengan Pakej Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang akan membekalkan kepada golongan B40 terpilih seramai 600,000 orang. Saya agak hairan kerana inisiatif ini sebenarnya sudah pun digerakkan pada tahun lepas apabila kita menghadapi gelombang pandemik COVID-19 pertama yang dinamakan Inisiatif Cerdik. Melalui kenyataan Menteri Pendidikan beberapa hari lepas, mereka baharu sahaja menyelesaikan pengagihan 150,000 laptop kepada pelajar yang kurang berkemampuan setelah sekolah dibuka kembali. Lebih daripada setahun mereka ambil masa untuk mengagihkan 150,000 buah laptop. Macam mana pula 600,000 laptop atau peranti seperti mana sahabat saya Yang Berhormat Rasah tadi bertanyakan, apakah mekanisme yang akan digunakan oleh KPM untuk buat agihan tersebut?
Namun begitu, jika diikuti statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan B40 di Malaysia adalah sebanyak 2.78 juta. Begitu juga dengan golongan M40. Selepas gelombang pandemik COVID-19 kedua seluruh dunia semenjak tahun lepas, statistik naik. Sebenarnya ramai golongan M40 terjatuh dalam kategori B40. Hampir 20 peratus di mana 580,000 orang daripada M40 masuk kepada B40. Oleh itu, golongan di B40 dikatakan sudah menjangkau sebanyak 3.36 juta. Soalan saya, adakah KPM menyasarkan untuk semua golongan B40 atau mempunyai kriteria tertentu kerana jika diikuti data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, pengagihan laptop itu masih tidak cukup. Ini menunjukkan pelajar golongan B40 yang tidak mempunyai tablet atau laptop tercicir pelajaran sejak tahun lepas. Apatah lagi dengan had akses internet di kawasan tertentu yang menyebabkan keciciran pelajaran di kalangan mahasiswa ataupun pelajar.
Walaupun Bajet 2022 kerajaan juga memperkenalkan projek ketersambungan digital melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan peruntukan sebanyak RM700 juta. Tuan Yang di-Pertua, hanya menyasarkan 47 buah kawasan perindustrian dan 630 buah sekolah luar bandar. Namun, ia tidak menyasarkan kesemua tempat kerana berdasarkan rekod jumlah sekolah luar bandar seluruh Malaysia adalah 5,980 buah. Di sini kerajaan menyasarkan hanya 10.32 peratus sekolah di luar bandar. Angka ini menunjukkan bahawa kerajaan ataupun KPM menyasarkan kurang daripada 50 peratus sekolah di luar bandar dan realitinya KPM gagal fokus untuk golongan yang tidak berkemampuan. Saya juga berharap KPM dapat memberi data sebenar jumlah sekolah luar bandar dan mengeluarkan senarai penuh 630 buah sekolah di luar bandar untuk inisiatif JENDELA. Kita tidak mahu wang rakyat diselewengkan dan juga ingin melihat permata negara keciciran pelajaran kerana anak muda adalah aset berharga untuk masa depan negara. Tuan Yang di-Pertua dan rakan-rakan sekalian, saya juga ingin menyentuh peruntukan kepada industri sukan. Sebanyak RM289 juta disalurkan dalam industri sukan negara. Saya ingin mengucapkan tahniah atas peruntukan untuk atlet para sebanyak RM50 juta yang saya kira satu penanda aras kerajaan serius menumpukan pembangunan atlet para dengan kejayaan cemerlang mereka dalam Sukan Paralimpik yang lalu. Namun Bajet 2022 ini tidak tertumpu pada atlet berprestasi tinggi terutamanya dalam sukan teras negara. Malah peruntukan untuk program podium juga tidak ada dalam belanjawan kali ini. Ini sekali gus menjejaskan persediaan atlet untuk ke Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun hadapan. Sebanyak hampir RM159 juta peruntukan untuk menaik taraf fasiliti sukan yang sedia ada. Setiap kali SUKMA ataupun Sukan Malaysia akan berlangsung, pasti ada peruntukan yang disalurkan untuk menaik taraf fasiliti sukan. Namun selepas kejohanan, stadium akhirnya terbiar. Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga mempersoalkan perkara yang sama tentang keadaan stadium di negara ini walhal sering mendapat peruntukan untuk naik taraf kemudahan sukan. Kejadian ini berulang-ulang yang hanya membazirkan wang rakyat tanpa ada hala tuju yang jelas dalam perbelanjaan pengurusan. Saya kira ini satu pembaziran nyata dari Kementerian Belia dan Sukan. KBS sepatutnya melaburkan wang ini untuk output jangka panjang. Contohnya membina universiti sukan Malaysia yang pertama di negara ini. Ada tokoh-tokoh yang pernah memberi cadangan ini contoh, Ketua Unit Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Pekan Ramli dan juga disokong oleh beberapa orang ahli akademik sains seperti Prof. Dr. Amin iaitu Pakar Pembangunan Sukan dan Rekreasi Luar, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Negara lain yang juga ada universiti sukan contohnya China mempunyai 10 buah universiti sukan untuk membentuk atlet daripada peringkat akar umbi. Korea, Jepun, Taiwan dan juga India, hasilnya terbukti apabila negara mereka berterusan melahirkan atlet-atlet yang menjuarai kejohanan di persada dunia.
Sukan dijadikan karier di negara mereka kerana industri sukan mereka yang sistematik tetapi di Malaysia tidak begitu, industri sukan yang sangat kecil. Malah, selepas atlet bersara kebanyakan mereka hilang sumber pendapatan. Atlet negara juga kebanyakannya bertaraf semi profesional berbanding status profesional. Saya berharap Menteri Belia dan Sukan dapat menjelaskan apakah hala tuju KBS yang ingin dibawa bagi menggalakkan pertumbuhan industri sukan kerana bajet ini jelas sekali tidak mencukupi semua pemain industri sukan negara dalam jangka masa panjang malah tiada dasar yang jelas. Selain itu, saya difahamkan perenang negara, Cindy Ong bergelut mencari kolam renang bagi persediaan menghadapi Kejohanan Dunia Masters. Namun, tiada sesiapa yang menghubungi beliau setakat ini. Ini satu kerugian besar buat negara ini apabila kerajaan gagal menghargai bakat atlet dan membiarkan mereka bersendirian bagi menghadapi Kejohanan Dunia Masters. Namun, apabila atlet tersebut sudah berjaya mengharumkan nama negara, maka ramai sekali Menteri, ahli politik dan sebagainya sibuk menumpang nama dalam kejayaan mereka. Situasi ini bagaikan sudah menjadi suatu norma dalam negara ini tetapi apabila melibatkan kebajikan atlet, kita sudah gagal. Pendedahan kes gangguan seksual dalam sukan juga perlu diberi keutamaan buat KBS supaya dapat mencegah kejadian ini. Apa langkah pihak KBS dalam mengatasi masalah ini supaya suara atlet tidak disekat oleh pihak autoriti. Apa gunanya memenangi banyak pingat tetapi keselamatan atlet negara tergadai. Di Amerika Syarikat, contohnya atlet mereka diberi ruang untuk bersuara tentang isu gangguan seksual dalam sukan seperti apa yang terjadi oleh atlet gimnastik US, Simone Biles tanpa ada ruang melindungi mana-mana pihak tetapi di Malaysia, pesalah cuba dilindungi. Kesempatan ini, saya juga inginkan penjelasan daripada pihak KBS mengapa Velodrom Azizulhasni Awang yang menelan kos RM11 juta ini hanya berada dalam kategori 4? Saya difahamkan velodrom ini hanya ditumpukan untuk membangunkan atlet berbasikal akar umbi dan bukan untuk kejohanan antarabangsa, memberi tanda tanya banyak pihak malah pernah disoal oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia. Persoalannya, bukan velodrom ini berstatus untuk membangunkan bakat atlet akar umbi atau antarabangsa tetapi mengapa ia mengambil masa terlampau lama untuk disiapkan walaupun velodrom ini hanya berstatus kategori 4 sahaja. Saya juga meminta Menteri di kementerian berkenaan menyenaraikan berapa buah stadium atau fasiliti sukan yang ingin dinaiktarafkan supaya kita dapat melihat penambahbaikan yang akan dilakukan. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu. Seterusnya Yang Berhormat Jelutong. Silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kali ini saya ingin memulakan perbahasan saya pada peringkat dasar dengan ungkapan... [Berucap dalam bahasa Tamil] Dalam bahasa Tamil, bila kita kata, [Berucap dalam bahasa Tamil] bermaksud segala kepujian kepada Tuhan Yang Maha Esa ataupun all praise to mighty God. Saya berterima kasih kerana walaupun kita lebih kurang dua tahun ini telah bergelut dan berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, kita berterima kasih kerana masih lagi dapat bertahan walaupun pandemik COVID-19 ini telah menyebabkan banyak masalah kepada seluruh dunia. Pada masa yang sama, saya ingin turut berkongsi simpati menyatakan simpati saya kepada rakyat Malaysia yang kehilangan saudara mara dan kaum keluarga akibat COVID-19. Dalam kesempatan ini juga, saya berterima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana telah pun menganjurkan majlis beramah mesra sempena perayaan Deepavali. Bagi pihak saya, ini adalah perkara yang bersejarah dalam persidangan Dewan kerana sebelum ini kita lihat walaupun ada Speaker-speaker daripada MIC di Dewan Negara dan juga di Dewan Rakyat, tidak pernah majlis begini dianjurkan.
Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua walaupun kadangkala kita bertikam lidah di Dewan yang mulia ini, konsep ini adalah sesuatu yang perlu kita galakkan supaya kita dapat beramah mesra walaupun terdapat perbezaan dalam perkara-perkara dan prinsip-prinsip politik dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, dalam kesempatan yang diberikan, saya ingin menyentuh kepada beberapa perkara. Pertamanya, walaupun ucapan pembentangan belanjawan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan itu adalah lebih kurang 107 muka surat, saya ingin tanya Yang Berhormat Menteri Kewangan, kenapakah tidak ada sebarang perincian dibuat mengenai projek-projek pembangunan di Pulau Pinang? Pertamanya, Pulau Pinang sekarang – kalau kita balik ke Pulau Pinang baru-baru ini, kalau Tuan Yang di-Pertua saya menjemput datang ke Pulau Pinang dapat lihat bahawa ramai daripada warganegara Malaysia telah pun datang ke Pulau Pinang. Makan nasi kandar, bersiar-siar tepi laut, pergi ke Penang Hill, Bukit Bendera dan sebagainya. Akan tetapi, kita memerlukan projek-projek infrastruktur. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang memerlukan naik taraf, perlu dinaik taraf. Apakah kerajaan mempunyai niat untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang? Bagaimanakah Projek Cable Car Bukit Bendera? Bagaimanakah dengan feri Pulau Pinang yang terbengkalai? Feri Pulau Pinang merupakan satu ikon yang merupakan tarikan kepada bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga rakyat daripada luar negara. Apakah rancangan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan kegemilangan feri ini. Bagaimana pula dengan Projek LRT yang amat sangat diperlukan untuk kita menyelenggarakan lalu lintas, aliran trafik dan juga pengangkutan di Pulau Pinang. Apakah rancangan Kerajaan Persekutuan? Bagaimana pula dengan Hospital Besar Pulau Pinang yang sudah pun begitu mencapai tahap optimum disebabkan oleh COVID-19. Kalau Tuan Yang di-Pertua ingin tahu, kita telah mendirikan hospital-hospital sementara, hospital khemah dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di luar ataupun di perkarangan Hospital Besar Pulau Pinang. Ini adalah projek-projek infrastruktur yang diperlukan oleh Pulau Pinang dan saya memohon perincian daripada Kementerian Kewangan, sama ada projek-projek ini akan dilaksanakan. Dalam kawasan saya sendiri, Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang, saya lihat dalam pembentangan belanjawan Yang Berhormat Menteri Kewangan telah menyatakan bahawa belanjawan ini akan menyokong RMKe-12. Dalam RMKe-12 terdapat peruntukan untuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang kerana di Jelutong, selalunya berlaku kejadian banjir di mana kejadian banjir ini memang akan menyusahkan rakyat yang tinggal di Jelutong, Pulau Pinang. Jadi saya mohon perincian, sama ada bila projek itu akan dilaksanakan dan bila projek itu akan selesai dilaksanakan supaya rakyat di Pulau Pinang terutamanya di Jelutong tidak lagi berhadapan dengan masalah banjir tiap-tiap kali berlakunya hujan lebat. Berkenaan dengan penyelenggaraan kuarters, saya telah lihat bahawa Yang Berhormat Menteri Kewangan telah menyatakan akan juga memperuntukkan wang untuk penyelenggaraan kuarters. Berkenaan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM), kakitangan, anggota polis di Balai Polis Jelutong, saya menjemput Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan yang hadir. Silalah datang lihat keadaan kuarters ini yang dibina pada permulaan ataupun semasa zaman British. Keadaan kuarters itu begitu teruk. Hanya satu buah bilik sahaja. Saya merayulah kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan supaya penyelenggaraan kuarters ini dilakukan. Sama ada ia dirobohkan dan kuarters baharu dibina, di mana keadaan kuarters ini tidak lagi boleh menampung anggota-anggota yang tinggal ataupun bertugas di Balai Polis Jelutong. Di sini juga saya ingin menyentuh dengan rancangan untuk menaikkan peruntukan kepada Cawangan D11 ataupun Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia. Ini adalah perkara yang perlu kita puji kerana kita ingin mengurangkan perlakuan jenayah
terhadap wanita. Akan tetapi Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil kesempatan ini untuk tanya– Tuan Yang di-Pertua merupakan seorang peguam. Apakah yang akan berlaku kepada kes-kes yang telah berlaku sebelum ini? Saya memberi tiga kesimpulan. Satu adalah kes yang menimpa Allahyarhamah Anisah binti Ali, seorang pegawai kastam yang telah terbunuh dalam satu kemalangan. Saya difahamkan beliau bertugas di Rantau Panjang dan saya difahamkan beliau mungkin menjadi mangsa kemalangan oleh sekumpulan yang giat menjalankan aktiviti-aktiviti penyeludupan di Kelantan. Adakah kes Allahyarhamah Anisah binti Ali ini akan disiasat semula? Kedua, saya ingin tanya, apakah akan berlaku kepada kes Altantuya Shaariibuu? Sama ada pihak polis akan menyiasat semula, mengambil rakaman percakapan Cif Inspektor Azilah Hadri? Ini juga melibatkan kes di mana seorang wanita Mangolia telah pun dibunuh. Dikatakan seorang Yang Berhormat dalam Dewan ini telah memberi arahan kepada beliau untuk melakukan pembunuhan tersebut. Ketiga, saya ingin bertanya, apakah pihak polis akan mencari suami kepada Indira Gandhi dan mencari anaknya sehingga mendapat anak tersebut? Ketiga-tiga kes ini perlu diberi perhatian oleh cawangan yang akan ditubuhkan ataupun yang akan dimantapkan lagi Bahagian D11 supaya suspek-suspek yang terlibat akan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Tuan Yang di-Pertua, saya juga lihat bahawa dalam belanjawan ini, Yang Berhormat Menteri telah menyatakan bahawa RM145 juta akan diagihkan kepada kaum India dalam Program Transformasi Sosioekonomi Kaum India. Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan tahu dalam perbahasan kali terakhir, saya telah menyatakan di sini bahawa terdapat ketirisan mungkin unsur-unsur rasuah di mana kami sebagai wakil rakyat hanya diberikan 200 kotak. Saya tidak mengadu. Saya berterima kasih di mana kotak- kotak itu diagihkan kepada penduduk berbangsa India tidak kira India Muslim, India Kristian, India beragama Hindu kepada yang beragama Punjabi kerana semuanya diklasifikasikan sebagai golongan India. Selepas kita membongkarkan ketirisan rasuah yang dilakukan segolongan pemimpin-pemimpin MIC, saya mendapati bahawa pihak SPRM telah membuat tangkapan. Akan tetapi, tangkapan-tangkapan itu hanya melibatkan ikan-ikan bilis sahaja. Kenapakah? Kenapakah SPRM takut untuk mengakap pemimpin-pemimpin MIC? Kenapakah SPRM takut untuk menangkap Tan Sri S. A. Vigneswaran? G. Asogan? Ini adalah individu-individu yang terlibat yang dikatakan terlibat dalam perlakuan rasuah melibatkan duit MITRA. Saya merayulah kepada SPRM, jangan takut kepada MIC. MIC is not above the law. Kalau pemimpin-pemimpin UMNO seperti Yang Berhormat Pekan, Yang Berhormat Bagan Datuk dapat ditangkap dihadapkan ke mahkamah, tangkap pemimpin-pemimpin MIC. Siasat mereka. Bawa mereka ke muka pengadilan, kalau mereka terlibat dalam perlakuan rasuah juga. Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil kesempatan ini juga untuk merayu. Maaf, ya. Saya ingin tanya berkenaan dengan pilihan raya yang berlaku di Melaka yang terlibat dalam pembentangan belanjawan Tuan Yang di-Pertua. Kita lihat pertembungan di antara PN dan BN. Pertembungan di antara UMNO dan PAS. Adakah pertembungan- pertembungan ini begitu serius sehingga menyebabkan mereka tidak lagi boleh memberi tumpuan kepada apa yang sedang berlaku di negara kita? Pertembungan-pertembungan di peringkat Persekutuan mereka menjadi kerajaan. Di Melaka, mereka bertembung di antara satu sama lain. Adakah perkara ini perkara yang boleh menyebabkan rakyat mengalami lagi masalah? Adakah pertembungan-pertembungan ini sudah pun menjadi begitu serius sehingga masalah yang dihadapi oleh rakyat tidak dapat diberi tumpuan lagi oleh pemimpin-pemimpin kita? Saya bertanya soal ini kerana kita lihat perkara-perkara utama seperti kebajikan rakyat. Perkara-perkara utama seperti isu-isu kesihatan tidak diberi tumpuan lagi kerana pemimpin-pemimpin di tahap Persekutuan sama ada PN, BN, UMNO, PAS dan Bersatu sudah pun mula bertembung di antara satu sama lain. Ini adalah perkara yang tidak begitu sihat.
Saya menyentuh perkara ini kerana kita melihat bahawa dalam pembentangan belanjawan kali ini Pulau Pinang telah pun dianaktirikan. Tidak diberi perhatian tentang perkara-perkara yang telah saya sentuh tadi mengenai projek-projek melibatkan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, projek-projek LRT di Pulau Pinang, berkenaan dengan Hospital Besar Pulau Pinang, berkenaan dengan feri Pulau Pinang dan banyak perkara lain yang menyentuh kebajikan, keselamatan, kesihatan rakyat tidak lagi diberi tumpuan.
Jadi, ini adalah perkara yang tidak begitu sihat. Di samping itu, kita juga lihat bahawa Polis Diraja Malaysia telah pun mengeluarkan waran tangkap terhadap Clare Rewcastle Brown. Polis Diraja Malaysia juga telah mengeluarkan perintah ekstra dasi terhadap Nur Sajat. Saya ingin tanya apakah kesalahan Nur Sajat? Apakah kesalahan Clare Rewcastle Brown? Clare Rewcastle Brown adalah seorang yang telah membongkarkan skandal yang paling besar di negara kita yang melibatkan mantan Perdana Menteri kita. Nur Sajat merupakan seorang usahawan yang berjaya. Tolonglah cari Jho Low. Tolonglah cari Jho Low. Tumpukan perhatian kepada Jho Low. Cari dia sampai lubang cacing. Bawa dia balik ke negara kita. Jangan bazirkan masa dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat. Ini adalah permintaan saya, Tuan Yang di-Pertua. Memandangkan masa tidak lagi memberi izin, saya mohon mengakhiri perbahasan saya dengan mengucapkan terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jelutong. Akhir sekali untuk hari ini, Yang Berhormat Kuala Kedah yang telah lama menunggu. Silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Saya berbesar hati diberikan peluang untuk turut sama berbahas Bajet 2022, Tuan Yang di-Pertua. Saya hanya hendak menumpukan kepada dua isu besar ekonomi yang meresahkan rakyat. Ini juga saya hendak sebut terkait dengan apa yang disebut dan diucapkan kelmarin oleh Yang Berhormat Johor Bahru. Yang Berhormat Johor Bahru bercakap tentang satu syarikat di Johor yang merupakan one-man-show company, dengan izin. Modal berbayarnya sebanyak RM1 juta tetapi dapat projek sebanyak RM1 bilion untuk maintenance ataupun penyelenggaraan jalan yang mengikut Yang Berhormat Johor Bahru, nilainya lebih tinggi daripada harga pasaran. Saya hendak sebut itulah juga merupakan pengalaman ramai orang di Malaysia dan diperkatakan oleh ramai orang dan disebut merata-rata tempat, terutamanya selepas berubahnya kerajaan pada tahun 2020. Di satu tempat di negeri Kedah, ada satu jalan dibina sekarang. Cerita di mulut orang ramai di kedai kopi dan lagi, jalan ini mulanya hendak dimaksudkan untuk direct nego tender, untuk tender runding terus dan harga yang disebut sebanyak RM80 juta. Akhirnya, perubahan kerajaan dan lagi tidak dapat buat cadangan runding terus berubah jadi open tender ataupun tender terbuka. Sekarang dibina dengan kos anggaranya sebanyak RM65 juta. Maknanya, sebanyak RM15 juta perbezaannya. Ikut maklumat yang saya dapat daripada pemain-pemain industri, memang perbezaan secara umumnya di antara projek yang dilakukan melalui tender runding terus dengan tender terbuka, bezanya sebanyak 30 peratus. Siapa yang dapat? Para kroni dan orang-orang yang ada kabel. Orang yang bukan know-how tetapi know-who, Tuan Yang di-Pertua. Ini malang sekali. Saya tidak bercakap dari platform politik, sebagai rakyat Malaysia saya berasakan ini adalah satu perkara yang memang kita kena atasi. Ia satu jihad besar. Ini kerana kalau sebanyak 30 peratus maknanya negara kita sentiasa dirugikan sebanyak 30 peratus dalam setiap projek yang kita lakukan. Boleh kita
bayangkan? Saya menerima bahawa dalam kes tertentu, kita perlu ada tender secara runding terus. Kes-kes yang sensitif berkait dengan pertahanan dan lain-lain lagi. Akan tetapi, kepercayaan ramai orang pada waktu ini ialah bahawa telah berlaku lebih banyak kes-kes tender runding terus oleh kerajaan yang ditubuhkan selepas Langkah Sheraton. Saya menyeru kepada Kerajaan Persekutuan pada hari ini, walaupun saya tidak pasti apa nama sebenar Kerajaan Persekutuan ini, sama ada ia masih Perikatan Nasional ataupun kerajaan gabungan. Tidak kira. Saya tidak mempertikaikan itu. Saya menyeru supaya kerajaan menyatakan dengan jelas pendirian kerajaan tentang tender runding terus ini. Ini kerana ia merupakan keresahan pada rakyat. Saya mendengarkan keresahan sekarang bukan lagi daripada orang-orang tertentu yang menyokong parti pembangkang, misalannya. Tidak! Akan tetapi, kebanyakan pemain industri, para kontraktor dan lain-lain lagi. Saya merasa bimbang. Saya merasa resah. Saya bimbang tentang masa depan anak cucu saya. Maka, saya menyuarakan supaya kita mengatasi masalah ini. Saya bersetuju supaya kita adakan satu sistem di mana runding terus ini kita minimumkan dan kita lakukan dengan bijak dan cara yang menguntungkan rakyat, tidak kira siapa sahaja yang menjadi Kerajaan Persekutuan. Itu permintaan saya kepada kementerian yang berkenaan iaitu Kementerian Kewangan. Itu adalah jihad yang perlu diperjuangkan. Saya rasa kalau Kementerian Kewangan benar-benar memperjuangkan perkara tadi, sokongan daripada rakyat dari segala lapisan peringkat rakyat akan diperolehi. Kita bukan lagi hidup pada zaman di mana informasi maklumat itu tidak tersebar. Sekarang maklumat ini tersebar merata-rata tempat. Di pedalaman Kedah pun orang bercakap tentang tadi. Si anu, si anu dapat tender runding terus dan sekarang dia sudah mewah, tidak kerja apa. Cuma, jadi orang tengah sahaja. Itu tidak baik. Tuan Yang di-Pertua, tender runding terus ini juga akan kadang-kadang disamarkan direct negotiation award ini, projek ini disamarkan Tuan Yang di-Pertua. Disamarkan sebagai tender selective, secara selective. Selective tendering process dengan izin. Kadang-kadang disebut sebagai complementary bidding. Ada berbagai-bagai cara disamarkan. Sebenarnya ia merupakan kroni dapat projek. Kemudian, hendak menjustifikasikannya supaya tidak nampak runding terus cari kroni lain, cari beberapa orang atau beberapa kontraktor lain masuk tender. Tender dia telah dibuat sebagai— supaya tendernya dapat yang terbaik. Maka, dia dapat projek. Kemudian, pakat-pakat ‘bedak’ atau pakat-pakat bahagi. Itu tidak adil untuk rakyat. Tidak adil untuk pemain industri yang betul-betul mahu bekerja sama ada bumiputera atau bukan bumiputera, para kontraktor, para usahawan dan semua yang terlibat dalam perniagaan dalam business yang bersungguh-sungguh, dalam construction business misalnya ada ramai orang yang mahu bekerja. Memang boleh bekerja. Memang jujur, ikhlas dan profesional bekerja. Akan tetapi kita, kerana kepentingan tertentu, memberikan tender tadi dengan secara yang tidak wajar. Kita menganiaya mereka dan menyebabkan negara rugi, rakyat rugi, projek rugi. Maka, projek-projek yang tergendala di Kedah hampir semuanya yang telah saya kebetulan terlibat menyelidiki serba sedikit, hampir semuanya diberikan bahagian-bahagian projek tadi secara tender runding terus, secara yang tidak wajar. Ada banyak projek tertangguh. Saya tidak mahu sebut di sini. Satu persatu. Di kawasan Parlimen Kuala Kedah juga yang menyebabkan banyak masalah berlaku banjir dan sekarang diperburukkan oleh projek-projek terbengkalai melalui runding terus tadi. Maka, kita cari jalan atasi ini. Saya akan menyokong apa sahaja langkah oleh siapa sahaja yang menjadi Yang Berhormat Menteri Kewangan yang akan meminimakan runding terus tadi dan memberikan projek dan kontrak secara wajar. Kita dengarlah rintihan pemain-pemain industri para kontraktor orang-orang kita sendiri, rakyat Malaysia sendiri sebanyak 30 peratus kekayaan negara hilang kepada projek-projek dan kontraktor begini sangatlah sedih dan dikesalkan. Minta kerajaan
nyatakan dengan jelas pendirian kerajaan dan juga saya minta supaya Yang Berhormat Menteri yang berkenaan nyatakan berapa banyak projek runding terus telah diberikan sejak tahun 2020, nilai projek serta syarikat yang dapat. Saya minta itu dijawab semasa menggulung nanti. Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, itu tentang kerajaan dan projek dan tendernya. Tentang rakyat biasa Tuan Yang di-Pertua. Ada satu keluhan dan keluh kesah yang disebutkan kepada ramai Ahli Parlimen begitu juga saya yang saya berhasrat untuk kongsikan di sini. Luahkan dan supaya kita dapat mencari penyelesaian. Iaitu mengenai satu entiti business yang disebut sebagai Credit Tip-Off Service (CTOS). CTOS adalah satu Syarikat Sendirian BeROSErhad. Ia merupakan sebuah syarikat pelaporan kredit. Kalau kita dengar syarikat pelaporan kredit memang dia ada peranan. Dia memberikan maklumat kredit. Kalau Yang Berhormat Jelutong hendak minta apa-apa, loan misalnya, kita kena mahu tahu background dia. Background dia dan dia ini orang Kedah. Orang Alor Setar. [Ketawa] Kita tahu semua background. Akan tetapi, apa yang berlaku dengan CTOS ialah walaupun nampak baik dan akta yang digunakan itu adalah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 semuanya nampak baik, matlamatnya baik dan tersusun dengan baik.
Akan tetapi, yang berlaku ialah ramai orang biasa, usahawan-usahawan kecil dan bawah, khususnya yang muda yang menjadi mangsa. Bagaimana menjadi mangsa Tuan Yang di-Pertua? Mereka pergi minta loan, minta pinjaman, terus direject, akhirnya dapat tahu bahawa CTOS mereka tidak elok. Apa yang dimaksudkan dengan tidak elok? Skornya tidak elok. Apabila diselidik kembali, ada maklumat-maklumat yang palsu, maklumat yang tidak tepat. Saya pernah diminta supaya memberikan contoh dan saya dapat contoh Tuan Yang di-Pertua. Ada seseorang, saya namakan dia dengan ES, ES ya, pengundi di kawasan saya di Kuala Kedah, seorang usahawan muda. Dia memberikan izin. Kalau Menteri berkenaan mahukan detailnya, saya boleh berikan detailnya. Selepas perbahasan ini, saya boleh beri semua detail. ES minta pinjaman. Dia pergi dan CTOS nya tidak lepas dan ada maklumat salah. Mengikut maklumat daripada CTOS, dia bankrap, muflis. Dia tidak pernah muflis. Kemudian dia ada pinjaman TEKUN yang tidak dibayar sejak tahun 2006. Tahun 2006 dia masih student, masih pelajar. Tidak mungkin ambil pinjaman TEKUN. Kemudian ada maklumat-maklumat yang terlalu peribadi tentang dia, tiba-tiba ada di dalam laporan CTOS. Maknanya seseorang boleh membayar sedikit on cost, dapatkan laporan peribadi dia, diberikan oleh CTOS, hutang TEKUN semua. Dia juga dikatakan pernah ada kes mahkamah. Sebenarnya bila diselidik balik, dia tidak pernah ada kes mahkamah. Apa yang ada ialah syarikat tempat dia bekerja, pernah ada kes mahkamah. Dia telah disenaraikan sebagai employee syarikat itu dan tidak pernah dipanggil sebagai saksi ataupun tertuduh atau apa-apa. Tidak ada. Jadi maksud saya begini, syarikat CTOS ini mendapatkan maklumat orang ramai daripada pelbagai sumber, daripada keratan akhbar, majalah, daripada papan kenyataan di mahkamah dan lain-lain lagi tanpa membuat penyelidikan yang profesional, yang wajar. Kemudian terus meletakkan maklumat di situ, di sitenya, dalam laporannya. CTOS memberikan cabaran, kalau tidak setuju, klik sahaja butang, telefon sahaja. Itu tidak berlaku Tuan Yang di-Pertua. Apa yang berlaku ialah usahawan-usahawan muda terutamanya, hutang PTPTN misalannya, pergi-pergi terus ditolak kerana mereka ini beban hutangnya terlalu tinggi. Bagaimana mereka mahu bernafas dalam langkah pertama mereka ke dunia keusahawanan, mereka telah terjerumus, tertiarap, orang Kedah kata tertiarap, terjerumus, kakinya terseradung dan terjerumus habis, tidak boleh bangun. Kita tengok di sini di Dewan yang mulia ini, pembuat undang-undang kita nampak mudah sahaja, senang sahaja. Ada penyelesaian dalam akta ini tetapi itu tidak berlaku
dalam dunia yang sebenar. Kalau ada CTOS, habis! Gelap masa depan, tidak ada cara mendapatkan pinjaman kewangan, tiada cara mendapat bantuan kewangan dan ramai usahawan muda yang baru hendak bermula, terjebak dalam perkara ini. Untuk menyelesaikannya tidak mudah. Apabila kita dituduh melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku, hendak menafikannya Tuan Yang di-Pertua, adalah benda yang sangat sukar daripada segi undang-undang. Kalau benda berlaku boleh dinafikan. Bila ES ini bertemu dengan peguam syarikat yang mana disabitkan syarikat itu dengan kes yang dikatakan dia terlibat di mahkamah, peguam tidak pernah ada kes. Untuk menafikan sesuatu yang tidak pernah wujud, itu tidak mudah daripada segi undang- undang dan di luar kemampuan kebanyakan usahawan muda khususnya graduan muda yang baru hendak mencebur ke dalam bidang keusahawanan. Beban kewangannya dan lain-lain lagi terlalu besar. Maka saya meminta kepada kerajaan dan semua di Dewan yang mulia ini supaya kita melihat kembali Akta Agensi Pelaporan Kredit tadi, kalau boleh kita pinda, kalau boleh kita buat akta yang lebih baik. Kita pastikan penganiayaan yang tidak disengajakan unintentional bullying atau unintentional victimizing, dengan izin oleh CTOS kepada para usahawan khususnya usahawan kecil yang tidak masa, tidak ada kemampuan, tidak ada kewangan untuk membela diri mereka daripada kezaliman ini supaya ditegakkan keadilan kepada mereka. Kita akan menolong ramai rakyat Malaysia. Sekarang kita perlu kerajaannya elok, lancar, swastanya lancar, rakyatnya lancar, bangun bersama-sama, beriring tangan, membangunkan kembali negara dan ekonomi. Kita perlu semuanya elok dan rakyat akan sangat terganggu kalau mereka hendak bergerak, mereka dibebankan dengan CTOS. Senarai hitam lain pula cerita tetapi CTOS nya itu, kita sama-sama boleh buat sesuatu, kita buat dengan cepat. Saya nampak Timbalan Menteri Kewangan di sini, saya salute. Maka sama-sama, saya akan memberikan sokongan sepenuhnya, kita bebaskan rakyat kita. Siang malam orang yang kena masuk CTOS ini boleh gila. Boleh gila kerana perniagaannya untung RM2 atau RM3 sehari dalam keadaan beban sekarang, sewa tidak boleh bayar, kena CTOS pula, habis surrender. Kita kena fikirkan. Akhir sekali saya ulang balik. kita juga kena ada satu stand yang jelas tentang direct tender, tentang tender runding terus ini. Bapa tender runding terus Malaysia ialah 5G. Kita minta Kementerian Kewangan beri penjelasan. Baru dua, tiga kali kita tanya di Dewan, tidak dapat penjelasan. Semoga dengan itu kita dapat membina Malaysia yang lebih baik dan semoga Bajet 2022 ini akan lebih bermakna. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Kedah. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Rabu, 10 November 2021. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.46 petang]
Kamar KhasSpecial Chamber
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Apakah Status Sekolah Kebangsaan Danau Perdana Yang Terbengkalai Lebih 16 Tahun di Taman Danau Desa di Kuala LumpurSpecial Chamber
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya telah banyak kali membangkitkan isu tentang status Sekolah Kebangsaan Danau Perdana di Taman Danau Desa di kawasan Parlimen saya yang terbengkalai dan dikosongkan sejak tahun 2005 atas sebab bangunan sekolah yang tidak selamat.
Tapak sekolah itu terbiar akibat perebutan undang-undang di antara Kementerian Pendidikan dan kontraktor yang telah berlarutan lebih 15 tahun. Jawapan Parlimen daripada Kementerian Pendidikan kepada saya pada 12 Jun 2014 menyatakan, Kementerian Pendidikan telah menyerahkan kes ini kepada Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA). Pada 12 November 2012, KLRCA telah menolak tuntutan daripada pihak penuntut iaitu Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur terhadap Kerajaan Malaysia. Lanjutan kepada keputusan tersebut, Kerajaan Malaysia dibenarkan membuat tuntutan balas Kerajaan Malaysia terhadap pihak penuntut sedang dikendalikan oleh kamar Jabatan Peguam Negara.
Jawapan Parlimen pada 12 Jun 2014 juga menyatakan “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses pelantikan perunding bagi tujuan menilai tuntutan ganti rugi kerosakan bangunan SK Danau Perdana. Peruntukan juga telah disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi urusan penempatan kawalan keselamatan dan perkhidmatan pembersihan kawasan sekolah berkenaan secara berkala iaitu tiga bulan sekali bagi mengelakkan kawasan berkenaan dicerobohi dan dikotori.”
Tuan Yang di-Pertua, saya bangkitkan pertanyaan tentang status sekolah ini hampir tiap-tiap tahun dan jawapan yang saya terima hampir sama setiap kali iaitu kerajaan masih menunggu keputusan sama ada daripada mahkamah ataupun KLRCA.
Setelah sekolah itu telah terbengkalai selama 16 tahun, tibalah masanya bagi Kementerian Pendidikan untuk membuat keputusan muktamad berkenaan isu ini.
Pertumbuhan penduduk di Kuala Lumpur telah menjadikan sekolah-sekolah di Kuala Lumpur semakin sesak dan Kementerian Pendidikan memang perlu membina lebih banyak sekolah untuk mengatasi pertambahan murid-murid sekolah di persekitaran Taman Desa.
Saya menyeru Menteri Pendidikan turun padang untuk melawat tapak sekolah terbiar ini dan menamatkan perebutan undang-undang dengan kontraktor berkenaan dalam masa terdekat. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Seputeh. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada April 2015, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan lawatan pemeriksaan di tapak dan telah membuat analisa bagi menyediakan laporan kajian keretakan bangunan bagi melihat hala tuju dan penyelesaian bagi isu ini.
Laporan lengkap telah diperoleh daripada pihak JKR pada 30 Jun 2015.
Berdasarkan laporan tersebut, pada April 2016, KPM telah bersetuju untuk membuat tuntutan ganti rugi kepada pihak kontraktor yang telah dilantik iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) dan telah melantik arbitrator untuk tujuan berkenaan. Walau bagaimanapun, prosiding timbang tara berhubung isu tuntutan kuantum ganti rugi tidak dapat dimuktamadkan berikutan isu dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan.
Sehubungan itu, pada 14 Ogos 2018, KPM telah mengadakan mesyuarat bersama pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membincangkan isu tuntutan ganti rugi yang layak dituntut oleh KPM terhadap kontraktor DPMMKL. Pada Disember 2020, satu jawatankuasa rundingan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha
(Perancangan dan Pembangunan) KPM bagi menyelesaikan kes ini di luar Tribunal Timbang Tara telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini berfungsi untuk mengadakan rundingan penyelesaian kes dengan pihak DPMMKL mengenai jumlah ganti rugi munasabah yang akan dituntut oleh KPM. Jawatankuasa rundingan ini akan bersidang pada hujung bulan November 2021. Sekian, terima kasih.
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Bekalan Benih Padi Sah oleh MADACorp dan NAFASSpecial Chamber
Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri Pertanian. Saya ingin menarik perhatian pihak kementerian ke atas isu pembekalan benih padi sah oleh MADACorp dan NAFAS.
Untuk makluman Menteri, kelewatan bekalan benih padi merupakan masalah yang sering dihadapi oleh petani. MADACorp diberi kuota setinggi 7,000 metrik tan setahun dengan 3,500 metrik tan semusim. Walau bagaimanapun, didapati bahawa syarikat GLC ini hanya mampu menghasilkan kurang daripada 1,000 tan dalam musim lepas pada waktu benih padi diperlukan. Adakah pihak MAFI mengambil kira prestasi dalam penentuan kuota benih padi yang diluluskan untuk musim hadapan?
Yang Berhormat Menteri, syarikat pengilangan benih padi harus mempunyai kemampuan untuk menghasilkan benih padi yang berkualiti. Minta Menteri nyatakan, berapa buah mesin Indented Cylinder Separator dan Optical Color Sorter yang dimiliki oleh MADACorp sendiri? Berapakah syarikat di antara 12 buah syarikat tersebut yang mempunyai lab ujian sendiri? Sekiranya syarikat gagal menghasilkan benih padi seperti kuota yang diberikan pada waktu musim yang diperlukan, apakah tatacara MAFI mengubahkan kuota untuk mendapatkan benih padi tersebut dari pembekalan lain dalam masa terdekat?
Selain daripada ini, MADACorp dan NAFAS juga pernah membuat pembelian benih padi daripada syarikat swasta kerana hasilan sendiri yang kurang. Walau bagaimana pun, hutang pembelian tersebut tertunggak lama tidak dibayar dan ini turut menjejaskan nama baik GLC ini.
Minta Menteri menjelaskan, berapakah jumlah nilai pembelian benih padi yang MADACorp dan NAFAS telah beli dalam beberapa tahun lepas? Berapakah bayaran telah dibuat dan jumlah hutang yang masih belum MADACorp serta NAFAS bayar kepada syarikat pembekal benih padi? Minta Menteri nyatakan pencapaian keuntungan MADACorp dan NAFAS dalam beberapa tahun yang lepas, berapa bonus, dividen dan zakat sudah dibayar oleh MADACorp dan NAFAS.
Minta Menteri jelaskan bagaimana mungkin syarikat yang menjana keuntungan sampai boleh bayar zakat tetapi tidak membayar hutang yang tertunggak? Sekian, terima kasih.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi penanaman padi di negeri Kedah, pembekalan benih padi sah dilakukan secara berperingkat berdasarkan fasa penanaman dengan bersumberkan empat pembekal utama di negeri Kedah sendiri. Namun sedemikian, Kementerian Pertanian dan Indusrtri Makanan (MAFI) tidak menafikan hakikat bahawa berlaku sedikit masalah dalam isu pengedaran benih padi yang sah ini khususnya setiap musim penanaman utama atau musim kedua setiap tahun berikutan isu teknikal dan penyelarasan yang berlaku.
Antara faktor penyumbang kepada masalah yang didakwa kekurangan benih padi sebenarnya antara lainnya adalah berkait dengan salah padanan (mismatch) antara permintaan benih bagi variety tertentu dengan yang tersedia ada di pasaran.
Survey pramusim sentiasa dilakukan bagi mengenal pasti variety yang menjadi pilihan pesawah dan merancang penanaman berdasarkan jangkaan permintaan pasaran.
Sering kali pesawah meminta benih padi daripada variety tertentu yang telah habis di pasaran sedangkan masih terdapat variety lain yang tidak kurang kualitinya boleh digunakan dan masih tersedia untuk dibeli. Contohnya, terdapat permintaan yang cukup tinggi sekali bagi variety MR297 untuk musim ini yang telah menyebabkan bekalan variety berkenaan kehabisan stok sedangkan bekalan benih variety yang lain misalnya MR219, MR220 CL2 dan juga MR307 masih terdapat di pasaran.
Bagi MAFI, sememangnya kita menggalakkan kepelbagaian variety padi ditanam sebagai strategi untuk mencegah penyebaran penyakit serta risiko kemusnahan secara besar-besaran sekiranya berlaku sesuatu wabak (outbreak) terhadap variety khusus tertentu.
Selain itu, proses pengesahan benih padi juga memerlukan masa, bukan sahaja perlu melaksanakan empat jenis ujian iaitu pertama, ujian percambahan, kelembapan, ketulenan dan carian biji lain sebelum sesuatu benih itu boleh disahkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA). Bahkan benih itu padi juga memerlukan tempoh rehat
(dormant) sekurang-kurangnya dua minggu hingga sebulan berdasarkan jenis variety sebelum ujian pengesahan kita dilakukan.
Dalam hal sedemikian, isu kelewatan pembekalan benih ini sering berlaku pada musim kedua penanaman setiap tahun kerana jarak peralihan musim penanaman yang singkat di antara penanaman padi musim satu dengan musim dua. Dalam konteks ini, musim pertama tahun 2021 dan musim kedua tahun 2021 iaitu tempoh kurang dua bulan sedangkan tempoh dormant dan proses pengesahan benih sebagaimana yang
dinyatakan tadi, perlu mengambil masa sekurang-kurangnya antara satu ke dua bulan.
Keadaan ini telah menyebabkan sedikit kelewatan berlaku dalam pengedaran benih padi sah.
Dalam hal ini, bagi memastikan benih padi sah dapat dibekalkan tepat pada masa yang diperlukan, pihak pengeluar dan juga pemborong benih telah diminta untuk mengatur pengeluaran dan pembekalan berdasarkan jadual penanaman di setiap kawasan jelapang ataupun di luar jelapang yang berbeza antara satu sama lainnya.
MAFI bersama-sama jabatan dan agensi yang terlibat sentiasa melaksanakan pemantauan dan perbincangan secara berkala berhubung perkara berkaitan bagi memastikan benih padi sah dapat dibekalkan pada masa yang diperlukan dan isu kelewatan pembekalan dapat diminimumkan. MAFI juga memantau secara berterusan keupayaan syarikat-syarikat pengeluar benih untuk membekalkan benih padi sah dan akan menyelaraskan semula kuota pembekalan yang diperuntukkan kepada syarikat pengeluar dari semasa ke semasa di bawah kuasa Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras bagi memastikan supaya bekalan benih padi sah dapat kita laksanakan dengan berkesan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, kuota 12 buah syarikat panel pengeluar benih padi sah akan dinilai semula setiap musim dan tahun berdasarkan prestasi semasa pengeluaran benih sah. MAFI akan mengadakan perbincangan bersama jabatan dan juga agensi yang terlibat bagi menilai prestasi kemampuan syarikat yang menjadi panel pengeluar benih padi sah sebelum penetapan kuota baharu bagi musim hadapan kita tentukan.
Kesemua 12 buah syarikat panel pengeluar benih padi sah tadi termasuk MADACorp mempunyai makmal kawalan kualiti dalaman yang mempunyai sekurang- kurangnya peralatan untuk menjalankan ujian percambahan, ketulenan dan kelembapan, selain mesin Indented Cylinder Separator dan Optical Color Sorter sendiri walaupun ia bukan merupakan suatu syarat yang diwajibkan pada masa ini.
Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (MADACorp) sendiri mempunyai tujuh unit Indented Cylinder Separator yang telah dipasang dan dua unit Optical Color Sorter yang sedang dalam proses pemasangan.
Mulai 1 Januari 2021, MAFI telah melaksanakan penetapan harga siling benih padi sah yang dikawal di peringkat runcit pada kadar tidak melebihi RM35 satu beg (20 kilogram) sehingga sampai kepada pesawah. Manakala, hak pengedaran itu kita berikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong benih padi sah sehingga 30 Jun 2021 bagi melicinkan proses sekali gus untuk membantu mengatasi apa juga isu-isu yang berbangkit berhubung pengedaran benih tersebut.
Jumlah nilai pembelian benih padi oleh NAFAS ialah sebanyak RM60.96 juta.
Sehingga kini, NAFAS telah membuat pembayaran sebanyak 82.39 peratus daripada semua tuntutan yang lengkap oleh pengeluar benih padi sah. MADACorp pernah menjalinkan kolaborasi dengan beberapa pengeluar lain dalam Kawasan Muda berdasarkan pendekatan usaha sama strategik yang melibatkan perkongsian kepakaran selain daripada pengoperasian bersepadu dalam membekalkan benih.
Jalinan kolaborasi ini telah membantu untuk menyelesaikan keperluan benih padi kepada pesawah manakala syarikat pula dapat menjalankan operasi perniagaan pada tahap optimum dalam situasi, dengan izin, win-win situation. Hubungan kerjasama ini terjalin untuk tempoh bermula tahun 2015 sehingga tahun 2019. Terma transaksi pembayaran dalam hubungan kerjasama ini pula adalah melalui pengeluaran cek atau kontra akaun secara berperingkat. Sehingga kini, baki hutang adalah sebanyak RM6.97 juta ataupun 9.7 peratus daripada nilai pembelian benih padi daripada syarikat luar.
MADACorp akan terus menyelesaikan baki pembayaran hutang dari masa ke semasa tertakluk kepada prestasi kewangan syarikat.
Secara umumnya, Tuan Yang di-Pertua, prestasi kewangan MADACorp agak kurang memberangsangkan. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, dalam tempoh tahun 2015 sehingga tahun 2020, hanya dua tahun terawal sahaja MADACorp mencatatkan keuntungan antara RM1.5 juta hingga RM2.3 juta manakala tahun-tahun selebihnya syarikat mencatatkan kerugian.
Kali terakhir pembayaran dividen dibuat kepada pemegang saham adalah pada tahun 2015 berjumlah RM378 ribu ketika syarikat mencatat keuntungan kumpulan pada tahun tersebut. Dividen dan bonus tidak dibayar kepada kakitangan pada tahun-tahun selanjutnya bilamana syarikat mencatat kerugian. Pembayaran yang dibuat sekiranya adapun hanyalah sekadar bayaran sagu hati kepada kakitangan bagi menyambut perayaan tertentu.
Sementara itu, bayaran zakat yang dibuat oleh syarikat induk hanya pada tahun 2020 berjumlah RM 5,000 sahaja bagi tujuan penyelarasan cukai. Bayaran zakat lainnya yang berjumlah RM 20,000 lagi dibayar oleh anak syarikat memandangkan anak syarikat ada mencatatkan keuntungan bersih pada tahun berkenaan.
Dalam hal ini, pembayaran zakat perniagaan yang dibuat tidak wajar menjustifikasikan keupayaan syarikat untuk membayar tunggakan hutang sedia ada kerana zakat adalah merupakan suatu tanggungjawab yang perlu dilunaskan apabila keadaan memerlukan. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas hari ini
ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang, Rabu, 10 November 2021. Terima kasih Ahli- ahli Yang Berhormat.
[Kamar Khas tamat pada pukul 2.52 petang]