Dewan Rakyat · 28 February 2022

15th Parliament, session 5, meeting 1 · 20 turns · 3,688 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

(Pembukaan)

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Yang Keempat Belas

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen Yang Keempat Belas, Penggal Kelima yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung. Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama. Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan.

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.17 pagi]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 10.22 pagi]

Tuan Yang di-Pertua

[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersembahkan Titah Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in BillahBill

Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassolaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Anbiyaai Wal Mursaliin, Wa’ala Aalihi Wa Sohbihi Ajma’iin. Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Dewan Negara dan Ahli-ahli Dewan Rakyat yang Beta hormati sekalian. Segala pujian ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir semesta alam. Dialah Tuhan yang menguasai pemerintahan pada hari pembalasan.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda. Alhamdulillah. Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan kekuasaannya jua telah mengizinkan berlangsungnya Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 pada hari yang penuh bermakna ini. Tahun 2021 telah menyaksikan pemulihan ekonomi negara yang semakin baik pascapandemik COVID-19 namun kemunculan varian baru Omicron di seluruh dunia dan bencana banjir yang melanda pada penghujung tahun 2021 telah sedikit sebanyak merencatkan pemulihan ini. Beta amat menghargai tindakan pantas kerajaan membantu mangsa banjir menerusi penyaluran bantuan bernilai RM1.4 bilion secara terus kepada mereka yang terkesan. Selain itu, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan kewangan bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam berjumlah RM6 bilion. Menghadapi tahun 2022, marilah kita terus mengukuhkan strategi dan ketahanan dalam mendepani cabaran COVID-19. Pemulihan ekonomi negara perlu disegerakan agar negara tidak akan ketinggalan. Bantu dan mudahkan segala urusan rakyat untuk membina semula kehidupan mereka dengan rasa selamat, aman, makmur demi negara kita yang tercinta. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwipartisan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Alhamdulillah, landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat beta dan masa hadapan negara. Hasil kesepakatan dan kematangan ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian 1963 telah berjaya diluluskan melebihi dua pertiga Ahli Dewan Rakyat [Tepuk] dan Dewan Negara pada Disember lalu. Sesungguhnya peristiwa tersebut bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia. [Tepuk] Kematangan politik seperti inilah yang didambakan oleh rakyat beta. Melangkah ke hadapan, beta menyeru kepada sekalian Ahli-ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Malaysia berada di kedudukan ke-13 daripada 122 buah negara dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa. Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat Beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati. Beta menyokong strategi pengujian COVID-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial boleh direalisasikan secara selamat. Beta menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2020-2025) yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutamanya yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan kepada golongan yang terkesan. Pada kesempatan ini, beta menyeru kepada rakyat beta untuk terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat. Beta juga amat menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara termasuk strategi pembangunan vaksin

sendiri sebagai usaha bagi meningkatkan kesediaan negara dalam mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan. Beta turut menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi. Selaras dengan aspirasi tersebut, pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu- isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Beta berharap agar kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang-bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik, biosains dan angkasa. [Meneguk air] Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Ekonomi Malaysia pada tahun 2021 telah berkembang sebanyak 3.1 peratus setelah mengalami penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19. Pemulihan pertumbuhan ekonomi menunjukkan keberkesanan lapan siri pakej bantuan dan rangsangan ekonomi pada tahun 2020 dan 2021 yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion selain peruntukan bajet tahunan yang telah disediakan. Bagi tahun 2022, Keluaran Dalam Negeri Kasar Negara diunjurkan terus berkembang kukuh antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus. Antara petunjuk pemulihan ekonomi termasuklah kadar pengangguran yang semakin berkurangan dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik. Beta mengucapkan syabas atas kejayaan kerajaan menyediakan sejumlah 558,633 penempatan pekerjaan kepada rakyat beta berbanding sasaran sebanyak 500,000 bagi tahun 2021. Manakala, bagi tahun 2022 di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyasarkan penyediaan hampir 600,000 buah peluang pekerjaan. Semua ini adalah demi kelangsungan perniagaan serta penjanaan semula aktiviti ekonomi Selain memastikan malaysia kekal sebagai pengeksport dan destinasi pelaburan utama di rantau ini. Di samping itu, produktiviti dan daya saing negara juga perlu terus dipertingkatkan untuk menarik pelaburan asing berkualiti bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat beta. Tindakan proaktif kerajaan dalam mencerdas dan meningkatkan prestasi pelaburan dan perdagangan negara demi menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari telah mendapat pengiktirafan dari institusi global. Milken Institute Global Opportunity Index 2022 telah menobatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur-pelabur asing di kalangan ekonomi Asia Tenggara baharu muncul (emerging Southeast Asian economies). Pencapaian prestasi pelaburan adalah sangat memberangsangkan. Jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2021 bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bernilai RM220.8 bilion dengan 80,000 buah peluang pekerjaan baharu turut dicipta bagi bakat-bakat tempatan. Prestasi perdagangan Malaysia pada tahun 2021 buat pertama kalinya telah mencatatkan pencapaian yang cemerlang iaitu melebihi RM2 trilion. Kerajaan juga telah mencapai jumlah nilai eksport RM1.24 trilion bagi tahun 2021. Ini menjadikan sasaran jumlah eksport negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak RM 1.25 trilion menjelang tahun 2025 telah berjaya dicapai empat tahun lebih awal. Beta yakin kejayaan ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap asas-asas ekonomi dan ekosistem pelaburan negara. Menerusi kerangka National Investment Aspirations pula, fokus ditumpukan kepada sektor-sektor pertumbuhan ekonomi baharu yang dapat menarik pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi di samping mencipta peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing negara. Beta yakin ekonomi negara akan mendapat manfaat yang besar melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Ekonomi Serantau dan Antarabangsa yang merupakan tunjang kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan (rules-based multilateral trading system). Perjanjian kerjasama komprehensif ekonomi serantau yang telah diratifikasi akan turut menyediakan akses pasaran yang lebih luas serta memberi peluang yang berlipat ganda untuk syarikat-

syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai serantau dan global. [Meneguk air] Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rancangan Malaysia Ke-12 yang bermatlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan’ telah dirangka untuk menangani cabaran sosioekonomi akibat pandemik COVID-19 dengan mengambil kira harapan dan keperluan setiap rakyat Beta. Sebanyak sembilan fokus utama telah digariskan bagi mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju. Beta berharap Jawatankuasa Khas Pemantauan RMK-12 yang melibatkan pelbagai agensi Persekutuan dan negeri akan dapat mengawasi dengan sebaik-baiknya pelaksanaan dan pencapaian RMK-12 supaya sasaran (outcome) dapat dicapai dan seterusnya memenuhi keperluan sosioekonomi. Komitmen kerajaan untuk mengekalkan pembangunan sebagai agenda nasional terbukti dengan penyediaan peruntukan pembangunan bagi Rolling Plan 2, tahun 2022 RMK-12 berjumlah RM75.6 bilion yang disalur kepada pelbagai kementerian dan agensi bagi pelaksanaan sebanyak 6,749 buah program atau projek. Beta menyeru agar semua program dan projek yang bakal dilaksanakan tersebut hendaklah siap mengikut jadual dan mematuhi kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat Beta.

Bagi menjamin kesejahteraan masyarakat luar bandar pula, tumpuan hendaklah diberikan kepada penyediaan infrastruktur luar bandar yang lebih baik dan berkualiti. Ketidakseimbangan pembangunan dan ekonomi antara kelas pendapatan, wilayah dan negeri serta antara semua etnik seperti Orang Asli dan lain-lain lagi serta jurang kemiskinan hendaklah dikurangkan bagi memastikan kemakmuran negara dinikmati oleh semua secara adil dan saksama. Penyediaan tempat tinggal yang selesa dan kondusif juga perlu diperluaskan melalui penyediaan Bantuan Bina Baharu serta pembaikan rumah yang uzur terutamanya kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih sejahtera. Di samping itu, akses kepada perumahan hendaklah diberi keutamaan melalui pelbagai inisiatif yang lebih mesra pendapatan seperti penyediaan rumah mampu milik dan kaedah pembiayaan perumahan bagi kumpulan B40 dan M40. Strategi perumahan yang konklusif, praktikal dan mampan hendaklah dirangka melalui libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan secara konsisten. Penglibatan daripada syarikat berkaitan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah diteruskan dalam usaha untuk menyediakan perumahan kepada golongan yang memerlukan sebagai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Dalam mendepani cabaran urbanisasi pula, Beta menyambut baik Program Aspirasi Malaysia Berdaya Huni bagi mengukur tahap kesejahteraan rakyat melalui Indeks Daya Huni Malaysia. Indeks ini akan menjadi pengukur tahap kesejahteraan berimpak tinggi kepada semua lokaliti diperingkat pihak berkuasa tempatan dan menjadi instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar. Tadbir urus perbandaran melalui penggunaan teknologi digital dalam pengurusan, perancangan dan pembangunan bandar hendaklah dipelbagaikan. Usaha untuk menyediakan penyelesaian langsung kepada masalah-masalah fizikal ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh penduduk juga hendaklah terus dipergiatkan. Beta menyokong usaha kerajaan membangunkan projek infrastruktur rel mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid Link Johor Bahru- Singapura dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3). Pelaksanaan projek-projek strategik ini bakal memberi keselesaan, ketersambungan pada pelbagai lokasi dan bakal menghasilkan limpahan pembangunan ke semua wilayah dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat beta. Pembangunan rangkaian keterhubungan dan kebolehcapaian jaringan jalan raya sedia ada juga hendaklah terus dilaksanakan. Beta mengalu-alukan Pelan Pembangunan

Rangkaian Jalan Raya 2030 yang telah dirangka untuk mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan raya bagi melengkapkan sistem jaringan perhubungan yang lebih baik. Projek pembinaan lebuh raya seperti Central Spine Road, West Coast Expressway, Sarawak-Sabah Link Road dan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak bakal mampu memacu pembangunan wilayah serta pertumbuhan ekonomi setempat. Dalam masa yang sama, pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak hendaklah dipercepatkan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke wilayah Kalimantan. [Meneguk air] Panjang lagi. Bagi saya seminit ambil nafas sekejap. [Ketawa] Baru 50 peratus habis. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dalam memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama, Beta amat berharap agar kerajaan menumpukan usaha dalam membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan. Semua pihak hendaklah menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang tinggi agar taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan. Beta turut menyambut baik usaha yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial yang telah memberi dimensi baharu dalam mengukuhkan sistem perlindungan sosial negara. Program perlindungan sosial sedia ada juga wajar diperkukuh dan disusun semula bagi mendepani cabaran yang boleh menjejaskan kualiti hidup serta potensi pembangunan masa hadapan. Pada masa yang sama, usaha pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta usahawan informal yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir adalah sangat penting dan kritikal. Kumpulan khusus seperti penjaja dan peniaga kecil, wanita, belia, graduan, kumpulan B40 termasuklah asnaf serta golongan yang hilang pekerjaan hendaklah terus dibantu melalui program bimbingan keusahawanan dan pembiayaan yang bersesuaian demi kelangsungan hidup. Pendigitalan operasi akan terus diperkukuhkan untuk membantu usahawan tempatan bangkit semula dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi rakyat serta pembangunan ekonomi negara. Matlamat untuk membina bangsa usahawan dan menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul akan dapat dicapai melalui inisiatif di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030. Pemulihan industri pelancongan juga hendaklah segera dilaksanakan bagi mengekalkan kemampanan industri tersebut. Aktiviti pelancongan norma baharu pascapandemik hendaklah dirangka bagi memberi peluang rakyat berlibur selain membudayakan pelancongan selamat kepada semua. Bagi mencapai tujuan ini, tumpuan bukan hanya perlu diberikan kepada pelancongan domestik sahaja malahan perlu juga meneroka peluang untuk kembali menerima pelancong asing ke Malaysia sebagai salah satu usaha untuk mempercepatkan lagi pemulihan industri pelancongan negara. Norma baharu pascapandemik COVID-19 turut memerlukan masyarakat untuk mengadaptasi pemerkasaan ekosistem ekonomi digital di setiap peringkat perkhidmatan merentasi sektor. Justeru, Beta menyambut baik usaha kerajaan dalam membangun Pelan Jalinan Digital Negara untuk menambah baik dan mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara. Pelaksanaan MyDIGITAL melalui pelbagai inisiatif terutamanya melalui transformasi Pusat Internet Komuniti ke Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia dan perluasannya ke pelbagai kawasan Dewan Undangan Negeri bakal merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat dan seterusnya mencipta nilai baharu. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, inisiatif melalui Program SMART Sawah Berskala Besar berpotensi untuk meningkatkan hasil dan mutu padi tempatan yang boleh membawa golongan pesawah keluar daripada garis kemiskinan. Beta turut menyambut baik usaha kerajaan untuk mengukuhkan Sekuriti Makanan Negara melalui kerjasama

diperingkat Persekutuan dan negeri berlandaskan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara.

Sektor agromakanan negara telah menunjukkan peningkatan di mana pertumbuhan keluaran dalam negara kasar mencatatkan angka sebanyak lima peratus dengan sumbangan sebanyak 4.4 peratus dengan nilai eksport sebanyak RM27.7 bilion bagi tempoh sehingga suku ketiga tahun 2021. Justeru, pembangunan sektor agromakanan hendaklah terus dipergiatkan. Usaha meningkatkan pendapatan golongan petani, penternak dan nelayan juga hendaklah terus dilaksanakan menerusi pemerkasaan kaedah pemasaran yang berkesan dan tidak dieksploitasikan oleh orang tengah. Sektor agrikomoditi juga turut menyumbang sebanyak RM61.98 bilion bagi tempoh sehingga suku ketiga tahun 2021 dengan jumlah eksport sehingga Oktober 2021 sebanyak RM209.5 bilion. Peningkatan ini adalah selari dengan agenda pembangunan ekonomi nasional dan aktiviti ekonomi yang kini beralih kepada sektor pembuatan bernilai tambah tinggi dan perkhidmatan. Pelaksanaan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021- 2030 akan menjadi garis panduan kepada pemain industri untuk memperkukuh sumbangan sektor agrikomoditi kepada pertumbuhan ekonomi negara. Bagi memastikan rakyat Beta tidak terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan kos barangan keperluan harian, program penstabilan dan penyeragaman harga, program pengedaran barangan serta penguatkuasaan yang berterusan perlu dilaksanakan sebaik- baiknya. Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik. Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung. Selain itu, pelaksanaan program jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat Beta untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang berpatutan. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat Beta. [Meneguk air] Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kemerosotan alam sekitar dan fenomena perubahan iklim yang berlaku telah memberi ancaman kepada dunia dan kesejahteraan manusia. Bagi menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan, mekanisme pengurusan bencana hendaklah sentiasa ditambah baik dan turut melibatkan peranan dan tanggungjawab rentas sosial meliputi kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan sukarelawan, terutamanya daripada kalangan belia serta rakyat jelata. Dalam masa yang sama, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan hendaklah dilaksanakan secara berterusan. Pembangunan sistem amaran bencana berpusat dan peningkatan sistem saliran, terutamanya di kawasan berpenduduk padat khususnya di lokasi yang berisiko tinggi berlakunya bencana hendaklah terus dipergiatkan. Langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang termasuk kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat hendaklah segera dilaksanakan. Di samping itu, pelaksanaan kerja-kerja pembersihan awam dan penyenggaraan kemudahan tebatan banjir hendaklah dilakukan secara berkala. Perlindungan dan kelestarian alam sekitar mestilah diutamakan. Rakyat beta hendaklah sentiasa cakna dan mengambil berat terhadap kepentingan dalam memastikan kebersihan dan keselamatan di kawasan persekitaran masing-masing. Beta menyeru agar kerajaan akan dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok- pokok melalui pelaksanaan amalan pengurusan hutan secara berkekalan. Selain itu, kawasan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai geopark hendaklah dikekalkan dan dipelihara. Selaras dengan aspirasi untuk mencapai sasaran pelepasan karbon bersih sifar menjelang tahun 2050.

Strategi pertumbuhan hijau yang bakal dilaksanakan ialah penerima gunaan ekonomi kitaran, pembangunan rendah karbon, serta pengukuhan tindakan daya tahan perubahan iklim dan bencana termasuk faktor geologi. Beta percaya strategi yang telah dirangka tersebut akan menjadikan ekonomi negara lebih mampan, inovatif dan berdaya saing serta mewujudkan peluang pertumbuhan ekonomi yang baharu. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kerajaan akan terus mengukuh dan menyokong pembelajaran menerusi pembudayaan amalan dan nilai murni serta persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif. Beta menyambut baik inisiatif Sekolahku SEJAHTERA untuk dilaksanakan ke arah membentuk kemenjadian murid. Semua pihak sewajarnya menyokong usaha yang dilakukan demi merapatkan jurang pembelajaran murid yang wujud akibat pandemik COVID-19. Jalinan kerjasama baik dan positif hendaklah terus diwujudkan dan disokong bagi memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada anak-anak kita. Beta turut menyokong usaha kerajaan membangunkan Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi (SEJAHTERA IPT) dalam memastikan kecemerlangan pendidikan tinggi pasca pandemik. Beta menyambut baik usaha-usaha seperti penubuhan Majlis TVET Negara, pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021- 2025 dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021- 2025 yang kesemuanya merupakan naratif baharu bagi melahirkan graduan holistik dan seimbang. Selaras dengan perubahan pesat dunia pekerjaan dan kewujudan peluang pekerjaan baharu termasuk ekonomi gig yang semakin terbuka luas, pekerja perlu diberi latihan kemahiran insaniah dan kognitif bagi memastikan ekosistem pekerjaan kekal berdaya saing. Kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan undang-undang perburuhan bagi menjamin kesejahteraan pekerja serta menggalakkan majikan dan pekerja mengikuti latihan peningkatan dan kepelbagaian kemahiran. Usaha meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak dan warga emas, memperkasa golongan wanita serta orang kurang upaya dan memperkukuh institusi keluarga hendaklah terus diperhebat. Usaha murni kerajaan untuk membentang Rang Undang- Undang Antigangguan Seksual 2021 adalah sangat dialu-alukan. Usaha ini akan dapat memberi manfaat dan pembelaan kepada golongan yang terkesan.

Di samping itu, dasar penetapan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan hendaklah diteruskan demi untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam arus pembangunan negara. Beta menyokong usaha kerajaan memperkenalkan Model Baharu Pembangunan Belia (2021-2030) yang merupakan aset terpenting negara untuk diberikan peluang dan ruang dalam pembangunan negara. Di samping itu, Pelaksanaan Undi 18 yang diluluskan telah membuka dimensi baharu kepada belia dalam menentukan masa depan dan kepimpinan negara. Beta juga menaruh harapan tinggi terhadap Pembangunan Visi Sukan Negara (2030) yang merupakan usaha kerajaan dalam menetapkan hala tuju baharu pembangunan sukan negara dalam tempoh 10 tahun yang akan datang. Mutakhir ini, beta melihat timbulnya pelbagai fahaman dan aliran pemikiran yang mengelirukan masyarakat Islam dan juga usaha menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan adat dan amalan agama di negara ini. Justeru, beta menyeru supaya masyarakat dididik mengenai bahayanya aliran tersebut. Fahaman dan aliran pemikiran ini perlu dikawal melalui tindakan berfokus dan strategik melibatkan semua pihak berkuasa agama, keselamatan serta pihak-pihak lain yang bertanggungjawab. Dalam memastikan kemakmuran negara kekal terpelihara, perpaduan nasional harus terus menjadi agenda utama negara. Usaha memupuk budaya toleransi dan hormat-menghormati hendaklah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Beta. Justeru, beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang bersifat komprehensif.

Keutamaan juga hendaklah sentiasa diberikan kepada tahap keupayaan dan kesiapsiagaan keselamatan serta pertahanan negara. Ia termasuklah usaha memperkukuh pembangunan kapasiti, perolehan aset-aset baharu, penyelenggaraan dan menaik taraf aset-aset keselamatan negara. Ini agar negara sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk berhadapan dengan sebarang ancaman dari dalam dan luar negara. Konsep pertahanan menyeluruh juga hendaklah diperkukuh melalui platform kerjasama dua hala dan pelbagai hala supaya keselamatan serta kedaulatan negara kekal terpelihara. Beta ingin menzahirkan ucapan syabas atas kejayaan Malaysia terpilih buat kali ketiganya untuk menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk penggal tahun 2022 hingga 2024. Pemilihan ini merupakan cerminan kepercayaan masyarakat antarabangsa atas kewibawaan diplomasi Malaysia. Dalam hal ini, Malaysia perlu mengambil peluang bagi memastikan kepentingan negara terus dipertahankan selain berperanan aktif dalam menyuarakan kepentingan negara-negara kecil dan golongan yang tertindas. Beta percaya hubungan antarabangsa Malaysia akan terus menyerlah dengan pelaksanaan kerangka dasar luar negeri. Penekanan dan pendekatan baharu terhadap perkara penting yang merangkumi diplomasi kesihatan, ekonomi digital, diplomasi kebudayaan, keselamatan siber dan kewujudan bersama dalam keamanan hendaklah terus diberi tumpuan. [Meneguk air] Nikmat air. Tinggal sikit sahaja air saya. Sudah nak habis dah. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dalam membina sebuah negara bangsa yang telus dan berintegriti, Beta memandang serius tentang isu rasuah yang berlaku [Tepuk] . Beta percaya kerajaan sedang melaksanakan dasar dan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional menerusi tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk jenayah rasuah. Kerajaan juga sedang menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui inisiatif kerajaan digital secara end- to-end supaya lebih telus, cekap dan profesional. [Tepuk] Terima kasih. Pada kesempatan ini, beta ingin menzahirkan penghargaan Beta atas taat setia dan sumbangan ikhlas semua petugas barisan hadapan negara, anggota-anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur. Sumbangan mereka ini amatlah besar dan beyond the call of duty. Semoga semua penjawat awam terus komited, berdedikasi dan fokus untuk sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat Beta. Pada masa yang sama, kebajikan anggota perkhidmatan awam juga hendaklah terus dibela baik daripada segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan bantuan kebajikan merangkumi anggota yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara termasuklah veteran ATM. [Tepuk] Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, beta ucapkan selamat bersidang. Semoga persidangan penggal yang kelima ini bakal mencipta landasan ke arah memartabat dan mendaulatkan negara yang tercinta ini. Beta berdoa semoga Malaysia dan rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan- Nya. [Meneguk air] Alhamdulillah, habis segelas. Ahli-ahli Yang Berhormat, bagaikan rasa tidak lengkap jika beta tidak menyampaikan pantun nasihat buat Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Justeru, sebagai meneruskan tradisi tahun lepas sebelum ini, beta mengakhiri titah ini dengan dua rangkap pantun. Boleh? Terima kasih. Habis dah air. [Meneguk air] Nak habis sudah, nak habis sudah.

Gunung Kinabalu sama didaki, Sungai Pahang sama direnang, Jikalau semua bersatu hati, Kerja yang susah menjadi senang. [Tepuk] Busana tradisi kain bersulam, Warnanya jingga berawan larat, Cukuplah berpolitik siang dan malam, Fokuskan menjaga kepentingan rakyat. [Tepuk] Sekian, selamat bersidang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya hormat. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Tepuk]

[Dewan ditangguhkan pada pukul 11.15 pagi]

[Doa Selamat dibacakan oleh Sahibus Fadillah Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan bin Haji Mohd Hosni] [Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Majlis Parlimen]