Dewan Rakyat · 25 June 2024
15th Parliament, session 3, meeting 2 · not final · 523 turns · 45,622 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Waktu Pertanyaan-Pertanyaan MenteriQuestions
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Kita mulakan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ini dengan menjemput Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, Paya Besar.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
1. Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah [Paya Besar] minta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).
Terima kasih, Paya Besar. Izin saya mulakan dengan mengucapkan selamat pulang kepada Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang menyempurnakan ibadah haji baru-baru ini.
Terima kasih.
Doa mudah-mudahan haji mabrur... [Bercakap dalam bahasa Arab] Tan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Tan Sri Yang di-Pertua, pertama soalan ini yang dikemukakan oleh Paya Besar, tentunya terkait dengan pendirian Malaysia dalam soal perjuangan sah rakyat Palestin khususnya, Gaza. Saya ingin jelaskan bahawa bagi kesinambungan kerajaan tetap tegas dalam mempertahankan hak rakyat Gaza dan termasuklah dalam sidang-sidang antarabangsa berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ataupun Olaf Scholz, Canselor Jerman atau Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan
baru-baru ini Perdana Menteri Kishida dan kita dalam tiap pertemuan termasuk dengan Premier Li Qiang, China, isu ini kita bangkitkan sebagai di antara urutan utama dalam pendirian kita. Sebab itu Kerajaan Malaysia satu-satunya yang secara terbuka menemui pimpinan Hamas. Walaupun kita mendapat tekanan tetapi saya rasa ini satu yang harus kita lakukan dan kita pertahankan kedudukan Hamas sepertimana kita pertahankan perjuangan Mandela dahulu di Afrika Selatan dan lain-lain. Malah dalam sepertimana pernah saya tegaskan di sini, kita dalam pendirian kita mengenai syarikat Israel adalah paling tegas dalam sejarah Kerajaan Malaysia, kerana syarikat Israel terus operasi sehingga tahun lalu. Hanya Kerajaan Madani yang memutuskan untuk memberhentikan semua perdagangan langsung, termasuk syarikat ZIM yang memang menggunakan pelabuhan kita sehingga tahun lalu, yang diizinkan sejak tahun 2002. [Tepuk] Maknanya berterusan termasuk dalam tahun 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2022. Jadi kita harus terima kenyataan itu tentang ketegasan kerajaan sekarang. Sekarang ini berbangkit soal Konsortium MAHB yang dimiliki sekitar 41 peratus oleh Khazanah dan KWSP, mengizinkan syarikat asing khususnya GIP untuk memiliki bersama Abu Dhabi Investment Authority, bukan GIP. GIP dan ADIA memiliki 30 peratus. Kita hendak jelaskan ini dahulu sepertimana yang dibangkitkan. Pertama, dengan perubahan ini pemilikan Khazanah dan KWSP meningkat dari 41 peratus kepada 70 peratus. Ini berbeza dengan naratif di luar, naratif di luar seolah-olah penjualan. Tidak ada penjualan MAHB kepada syarikat asing. Selama ini syarikat asing memiliki sekitar 27 peratus dan inilah yang diambil alih oleh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan GIP. Itu saya hendak jelaskan fakta. Apakah kita ada penjualan yang melibatkan lapangan terbang? Tidak, penjualan ini ataupun exercise ini hanya melibatkan pengurusan, MAHB itu syarikat yang menguruskan lapangan terbang. Lapangan terbang kekal milik Kerajaan Malaysia. [Tepuk] Ini sama seperti MAHB, diberi izin oleh Kerajaan Turkiye mengurus Istanbul Sabiha Gokcen International Airport. Kita diberi hak mengurus tetapi milik kekal milik Kerajaan Turkiye. Ini berbeza dengan kita menjual hak Malaysia kepada Zionis, kepada Israel. Ini kritikan, saya terima baik tetapi biarlah berdasarkan fakta. Ini nasihat MK II semalam itu, memang tepatlah. Baik, jadi dalam exercise yang dilakukan ini, kita tahu bahawa yang dibangkitkan ialah mengapa diambil syarikat GIP. Rundingan menurut keterangan KWSP dengan GIP ini bermula sejak tahun 2012 dengan syarikat-syarikat Malaysia kerana KWSP dengan GIP terlibat dari 2012.
Kerjasama Lapangan Terbang Sydney Australia dan Lapangan Terbang Gatwick itu ada kepentingan KWSP bersama GIP. Baik. Kemudian sepertimana yang kita tahu, yang dibangkitkan ialah setelah perundingan itu selesai, ada pengumuman bahawa BlackRock akan mengambil alih kepentingan GIP. GIP telah buat kenyataan ini tidak menjejaskan peranan mereka mengurus lapangan terbang kerana kepakaran mereka tanpa campur tangan BlackRock. Itu kenyataan rasmi yang dibuat sekiranya perubahan ini semua selesai. Jadi tidak timbul soal BlackRock. Tapi saya nak jelaskan di sini dengan izin Yang di-Pertua, tentang BlackRock. Sudah kita tahu tentang pengurus aset terbesar di dunia dan sebagainya tetapi keadaan dalam negara sekarang, BlackRock punyai kepentingan dalam pasaran saham Bursa, RM25.5 bilion. Termasuk syarikat-syarikat besar, Tenaga, Telekom, PETRONAS dan RM7 bilion itu bon kerajaan dan korporat Malaysia. Baik. Tapi kita diserang sekarang termasuk oleh rakan-rakan sebelah sana. Dia lupa bahawa keputusan penting memberikan peranan BlackRock itu tahun 2021, 26 Februari tatkala Pagoh menjadi Perdana Menteri dan ramai menteri-menteri yang masih pada masa itu sebelah sana. Apa dia keputusan dia? Iaitu menyerahkan KWSP, Akaun Terurus Berasingan (SMA) bersama ekuiti persendirian patuh syariah pertama yang terbesar di dunia yang diberikan kepada BlackRock. Tahniahlah. Jumlahnya USD600 juta bersamaan RM2.5 bilion. 2021, pengurusan BlackRock. Kerana pada masa itu saya pertahankan. Kalau tanya saya sekarang, apakah saya pertahankan. Saya tidak mahu jadikan ini isu politik kerana kemungkinan KWSP pada masa itu telah melapor pada Pagoh dan mungkin Jemaah Menteri, bahawa ini hanya syarikat pelaburan. Apakah pada masa itu BlackRock tidak melibatkan satu sentimen yang agak pro-Israel? Sudah. Tetapi dalam kes MAHB, tidak pernah ada rundingan, tidak sepertimana 2021. 2021, KWSP runding terus dengan BlackRock. 2023, KWSP dan Khazanah runding dengan GIP, tidak terlibat BlackRock. Jadi itu keadaan dia berbeda dengan naratif di luar, Tan Sri Yang di-Pertua. Saya sedia terima teguran tetapi apa yang berlaku dalam kes ini? Pegangan 41 peratus kerajaan melalui Khazanah dan KWSP menjadi 70 peratus. Pegangan asing 27 peratus itu jadi 30 peratus bersama Abu Dhabi Investment Authority dan GIP. Jadi daripada segi kita, tidak ada perubahan daripada segi struktur yang agak berlebihan. Apa yang berlaku sekarang ialah proses itu sedang diteruskan dan bagi pendapat saya dan pendirian kerajaan, kita tidak mahu mengganggu proses ini dari diteruskan kerana ia berbeda dengan syarikat milik Israel.
Jangan lupa 21, 22, syarikat milik Israel masih operasi di Malaysia. 2023, kita batalkan semua kepentingan syarikat Israel. [Tepuk] Dan arahan ini yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri, tidak diizinkan mana-mana syarikat Israel beroperasi di Malaysia. Ini penjelasan. Terima kasih. [Tepuk]
Baik. Saya jemput Paya Besar.
Terima kasih, Yang...
Sebelum Paya Besar bertanya, untuk soalan-soalan ini, saya akan berikan tiga soalan tambahan ya. So, ini saya anggap soalan pertama. Silakan.
Terima kasih Yang Amat Berhormat...
Machang sila duduk dulu, lepas itu saya bagi kat Machang.
Machang, ini floor saya. Terima kasih Yang Amat Berhormat Tambun atas penjelasan berkaitan isu pengambilalihan saham MAHB. Tetapi Yang Amat Berhormat Tambun, saya ada beberapa kekeliruan yang mungkin dapat diperjelaskan di Dewan yang mulia ini. Yang pertama, ini satu keputusan dan perkara yang besar, Yang Amat Berhormat Tambun. Adakah telah dibawa ke Kabinet kerana ada sumber daripada Kabinet sendiri yang mengatakan perkara ini tidak dibawa ke Kabinet. Yang keduanya, mengapa kita laksanakan sekarang? Tak tunggu dulu ke, dua tahun lagi ke ataupun bagaimana? Kenapa kita perlu adakan sekarang? Yang ketiga, Yang Amat Berhormat Tambun, ia melibatkan lapangan terbang. Sudah pasti isu keselamatan negara juga akan terjejas dan bagaimana jaminan kerajaan dengan pengambilalihan saham ini tidak akan menjejaskan isu keselamatan negara kita. Dan berikutnya Yang Amat Berhormat Tambun, kenapa tak ada syarikat Malaysia yang mampu untuk kita bekerjasama dalam konsortium ini? Dan apakah implikasi yang terdekat sekiranya kerajaan membatalkan urus niaga dengan GIP ini? Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Baik. Silakan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Terima kasih Paya Besar. Pertama, semua pelaburan PNB, KWSP, Khazanah, itu bukan urusan Kabinet. Selama ini dan saya lihat juga minit-minit mesyuarat Kabinet sebelumnya, keputusan pelaburan Khazanah, PNB ataupun KWSP tidak dirujuk untuk Kabinet termasuk semasa rakan- rakan sebelah sana menjadi anggota Jemaah Menteri.
Tetapi dalam kes ini, saya ada maklumkan selepas itu. Saya maklumkan kepada Kabinet, ini yang berlaku. Ini sebagai makluman sahaja. Jadi, kalau ada ahli Kabinet yang bangkitkan bahawa kami tidak tahu, betul. Kerana saya maklumkan setelah keputusan dibuat. Baik. Mengapa sekarang? Ini kerana dirunding sejak setahun yang lalu. Melihat kepada keupayaan dan kapasiti lapangan terbang sekarang, pengurusannya, walaupun ada mencatat keuntungan tetapi unjuran keuntungan dan kapasiti itu jauh lebih rendah daripada apa yang dicapai oleh lapangan terbang negara-negara jiran. Sama ada Singapura atau Thailand atau Jakarta. Itu, pertama. Faktor keselamatan tidak berbangkit kerana masih milik kerajaan, satu. Keselamatan tanggungjawab kerajaan. Pengerusi syarikat dan CEO masih rakyat Malaysia, itu syarat-syarat yang ditekankan. [Tepuk] Ini berbeda daripada... Jadi, soal penjualan MAHB tidak berbangkit sama sekali. Siapa yang ajar cerita penjualan ini? Penjualan MAHB kepada syarikat asing tidak berbangkit sama sekali kerana milik kerajaan daripada 41 peratus ke 70 peratus. Pengerusi syarat dia mesti rakyat Malaysia, CEO rakyat Malaysia. [Tepuk] Keselamatan, keseluruhannya tanggungjawab Kerajaan Malaysia. Baik. Jadi, yang- itu sahaja dah cover ya. Terima kasih.
Implikasi, Yang Amat Berhormat. Implikasi dan...
Ha sekiranya, baik.
...Sekiranya tiada syarikat Malaysia ke?
Baik. Pertama, mengikut Khazanah dan KWSP, melihat kepada prestasi, tentunya kita memerlukan sedikit masa sepertimana nya kes digital atau AI. Itu kerjasama ataupun semikonduktor dengan syarikat asing itu sangat penting. Termasuklah dalam soal pengurusan, pelabuhan, lapangan terbang berskala besar. Keduanya, implikasinya memang berat. Kalau pertama, kita sebut dalam penyenaraian yang besar. Ini yang akan digunakan menyerang. Saya bila saya sebut kalau syarikat itu ada kepentingan Israel, itu bukan- Keputusan kita, syarikat Israel. Syarikat Apple, Microsoft, InVideo, semua ada kepentingan Israel. Apakah kita batalkan? Jadi bunyi sedaplah, bagi orang dengar seronok, kita ini hebat, pejuang tapi sebenarnya tidak realistik. Saya bincang dengan pimpinan Hamas, tidak berbangkit pun. Ini lebih Hamas daripada Hamas. Ini jadi masalah kita. Jadi, saya nak jelaskan di sini bahawa menjual maknanya RM20 bilion pasaran saham di Malaysia ada yang kata apa salahnya, Oh, kerana prinsip kita boleh.
Jangan kita korbankan maruah negara. Tetapi, soal prinsip, kita tidak korbankan apa-apa. Apa yang kita korbankan kerjasama dengan GIP? Apa yang dikorbankan oleh Kerajaan Perikatan Nasional tatkala serah BlackRock untuk urus dana EPF? Tidak ada korban. Saya pertahan. Saya pertahan keputusan itu, saya tidak jadikan isu politik. Tetapi, saya hendak bagi data dan angka supaya kita tahu keadaannya.
Baik, saya jemput Machang.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Amat Berhormat Tambun. Saya menghargai pendekatan Yang Amat Berhormat Tambun untuk berbicara hal ini dari segi fakta. Baik. Yang Amat Berhormat Tambun, dari segi meritnya, saya dan pembangkang dan rakyat Malaysia tidak nampak di mana logik dan relevannya kita membawa masuk GIP untuk membantu MAHB, sebuah syarikat yang berdaya saing yang tidak pernah rugi kecuali zaman COVID-19. Malah, kalau kita lihat, GIP antara operator yang menguruskan airport terburuk di dunia. Saya ada pengalaman naik kapal terbang di Gatwick. Cramp, sendat, lambat, tidak langsung selesa dan pengalaman ini kita hendak bawa masuk ke Malaysia. Kita ada lebih ramai airport-airport yang lebih baik― Incheon, Changi, Narita, Haneda. Kenapa kita tidak boleh mencari partner yang lain daripada GIP yang memang kita tahu yang akan dimiliki oleh BlackRock pada hujung tahun ini? Yang Amat Berhormat Tambun, dari segi faktanya, adakah RM11 persaham itu betul-betul nilai yang adil? Banyak penganalisa mengatakan sepatutnya ia perlu lebih tinggi memandangkan konsesi telah dilanjutkan kepada 45 tahun. Ini menunjukkan perkara-perkara ini perlu dibahaskan di Parlimen agar pandangan dapat dibawa. Dan saya hendak bangkitkan juga, Yang Amat Berhormat Tambun, dari segi apa yang Paya Besar bangkitkan― keselamatan. KKR, GIP, BlackRock terlibat dalam Indo-Pacific Economic Framework untuk melabur di infrastruktur-infrastruktur di rantau kita dan ini ialah strategi geopolitik Amerika Syarikat untuk counter dan contain China dari segi Belt and Road Initiative (BRI) di rantau kita. Apakah kita mahu serahkan airport kita kepada syarikat-syarikat ini yang akan memulakan perang ekonomi?
Okey, okey. Soalannya?
Jadi, ini soalan saya, Yang Berhormat.
Itu sudah ceramah itu. Baik, terima kasih.
Khazanah melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 yang berminat. Akhirnya, lima yang layak. Syarat yang ditetapkan oleh Khazanah ketat, yang tidak dipersetujui oleh kebanyakan. Pertama, pengerusi dan CEO, rakyat Malaysia. Ketiga, majoriti pegangan, Malaysia. Yang berminat, syarikat-syarikat lain― Singapura dan lain― dia hendak hak mengurus, maknanya CEO rakyat dia ataupun yang dia tentukan. Syarat ini tidak diterima. Jadi, itu sebabnya mengapa GIP diambil. Dibangkitkan Gatwick. Gatwick itu dalam keadaan yang parah diambil alih dan memang kalau ikut prestasi, jauh lebih baik daripada sebelumnya. Tetapi, saya bukan di sini untuk mempertahankan peranan GIP di Gatwick. Tetapi, saya hendak jelaskan anggapan bahawa harus diserah kepada yang lain, Jepun dan sebagainya. Saya tidak dapat sebut spesifik yang mana, tetapi menurut keterangan Khazanah, bahawa sukar mana-mana syarikat asing hendak bekerjasama kalau dia tidak kuasai majoriti atau mengurus atau menjadi pengerusi dan CEO. Semua itu tidak menerima syarat yang kita kenakan yang agak ketat, terutama dari segi penguasaan majoriti syer. Kita tidak beri kerana kita masih mengekalkan 70 peratus syarikat Malaysia― Khazanah dan KWSP. Kalau soal umpamanya BlackRock ini dibangkitkan tadi, kerana dia ambil GIP. BlackRock. Soalnya, kenapa tidak fikir tahun 2021 boleh pula? Sekarang tidak boleh. 2021, BackRock itu agenda yang sama. Ini masalahnya. Hukum itu berubah ikut keadaan.
Kota Melaka.
Terima kasih, Tan Sri Speaker. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kita melihat keputusan kerajaan pada hari ini adalah untuk kepentingan negara kita dan kita lihat pihak pembangkang pula cuba mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini. Jadi, di luar sana, yang paling penting ialah kita hendak menjawab kepada kekeliruan yang timbul terutamanya kita menjawab kepada rakyat, terutamanya mereka yang ada hubungan yang terus dengan isu ini. Jadi, soalan saya, Yang Amat Berhormat, kenapa kita perlu menswastakan? Supaya kita menjelaskan kepada orang ramai di sana. Dan juga, adakah peluang pekerjaan kepada kakitangan yang sedia ada akan terjejas? Juga, adakah kerajaan akan salurkan lebih banyak wang pembayar cukai untuk selamatkan MAHB ini? Dan juga, yang akhirnya, pencarum KWSP, bagaimana kita hendak memberikan jaminan kepada mereka supaya pelaburan ini akan memberikan pulangan yang lumayan di masa panjang? Terima kasih Tan Sri Speaker.
Silakan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Terima kasih, Kota Melaka. Kekuatan dalam pengurusan ini adalah kekuatan kejuruteraan dan teknikal. Kita memang urus yang lain itu baik. Jangan bagi gambaran seolah-olah kita tidak dapat uruskan dengan baik. Memang mencatat keuntungan pun walaupun tidak besar. Tetapi, isu yang dibangkitkan oleh Kota Melaka, ini soal penswastaan atau penjualan tidak timbul. Ini yang digunakan. Tidak...
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Ini saya beri penerangan. Bukan dikatakan penjualan. Ini diambil daripada pasaran semasa. Kita ambil alih dari 40 peratus ke 70 peratus. Jadi, bukan penswastaan namanya. Ini milik kerajaan. Masih― maaf. Milik Khazanah dan KWSP. Jadi, itu yang saya hendak jelaskan. Keduanya, tentang kekuatan teknikal dan kejuruteraan yang kita kurang upaya. Kemudian, dengan suntikan dana yang baru ini, RM10 bilion. Kalau setakat RM1 bilion, RM2 bilion, kita ada keupayaan. Dan sepertimana yang kita sebut, kalau kita ambil dana khazanah dan EPF RM10 bilion, ia menjejaskan pelaburan dalam sektor lain. Walau bagaimanapun, sepertimana yang kita tahu, keperluan untuk meningkat keupayaan, membesarkan infrastruktur lapangan terbang, bukan sahaja KLIA, di merata tempat. Ini sangat mendesak. Dan oleh itu, suntikan dana itu besar. Tentang kepentingan kakitangan dan pulangan KWSP, saya percaya akan lebih baik kerana pelaburan ini pelaburan yang dianggap sangat baik. Tetapi, tentang kedudukan kakitangan, itu agak terlalu awal tetapi saya boleh beritahu pendirian kita selama ini, selalunya dalam semua episod ini, kita pertahankan kedudukan kakitangan yang sedia ada.
Baik, terima kasih. Kita bergerak ke soalan nombor 2.
Datuk Speaker, satu lagi soalan.
No, saya dah tidak bagi. Saya sudah bagi tiga soalan. Saya jemput Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden.
Yang Berhormat. Yang Berhormat, tiga soalan, dia tidak adil. Sepatutnya dua-dua. Kalau tiga soalan, kami akan dapat satu sahaja. [Tepuk]
Dipersilakan Alor Setar.
2. Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden [Alor Setar] minta Perdana Menteri menyatakan apakah strategi kerajaan ekoran kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024, malahan mencatatkan penurunan ketara merentas sub-sektor ekonomi domestik dan produktiviti serta kecekapan perniagaan yang merudum kepada kedudukan ke-40 berbanding kedudukan ke-24 semasa pandemik.
Silakan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Terima kasih, Alor Setar. Kita teliti World Competitiveness Ranking of Institute for Management Development ini dan saya telah minta Ahli-ahli Jemaah Menteri juga meneliti supaya kita ambil pendekatan lebih terbuka. Kalau ada teguran itu yang membina yang boleh kita perbaiki, kita perbaiki. Kita tidak ambil pendekatan untuk terlalu defensive. Memang ada kelemahan yang harus diperbaiki. Cuma, saya minta perhatian bahawa secara umum, laporan itu masih mengekalkan kedudukan kita sebagai ekonomi yang stabil. Masih. Cuma, kelemahan-kelemahan yang disebut oleh Yang Berhormat Alor Setar ialah dalam perinciannya. Umpamanya, dia mengambil kira, yang pertama, tentang unjuran pertumbuhan.
Sepertimana yang kita tahu, pertumbuhan ekonomi kita post COVID-19, dia melonjak naik dari treshold yang sangat rendah dan prestasi kita berikutnya itu tentunya terlalu rendah ketimbang yang sebelumnya. Itu juga menjejaskan. Keduanya ialah prestasi ringgit. Prestasi ringgit tahun 2023 itu sangat lemah dan kita ambil kira. Ini juga menyebabkan kita merudum mengikut istilah yang tadi ya. Jadi, oleh sebab itu saya katakan, untuk menjelaskan lagi yang awal, yang saya sebutkan pertama iaitu unjuran pertama setelah threshold yang sangat rendah COVID-19 minus, dia jadi 8.7 dan kita catat 2020 iaitu berikutnya 3.7. Jadi, ini dianggap prestasi yang rendah yang dikenal pasti. Keduanya, saya katakan ringgit, tapi ringgit sepertimana yang kita tahu sejak beberapa bulan kebelakangan ini kian mengukuh. Jadi, kalau dari segi pertumbuhan, ada perubahan tahun ini suku tahun pertama, kalau ringgit juga ada perubahan yang besar. Ketiga, ia dikata tentang pengurusan ekonomi. Apa maksud pengurusan ekonomi? Katanya kita tidak tegas dalam soal perbelanjaan. Dalam keadaan perbelanjaan kita itu telah tingkat dan defisit membengkak, kita masih meluluskan beberapa peruntukan tambahan sepertimana STR, iSARA yang lebih. Jadi, saya mengaku tetapi oleh sebab keadaan ekonomi begitu dan memikirkan kepentingan rakyat, maka terpaksa kita berikan dan ini menyebabkan prestasi kita melemah dan ini dikaitkan dengan kelewatan kita melaksanakan penyesaran subsidi. Ini dianggap kelemahan. Kalau kita lihat umpamanya, perincian laporan itu Yang Berhormat, di antara teguran yang agak keras yang menyebabkan kita merosot ialah kerana kelewatan kita, kurang tegas kita dalam pelaksanaan dan penyesaran subsidi. Tiga-tiga perkara ini kita ambil perhatian. Walaupun saya setuju kepada yang lain, kita teliti supaya dapat kita perbaiki iaitu pertama, sebab pertumbuhan ekonomi lebih baik. Kedua, ringgit lebih mengukuh. Kemudian ketiga, penyesaran subsidi dalam soal ayam,
dalam soal penyesaran subsidi diesel telah dilaksanakan. Saya percaya insya-Allah prestasi kita akan bertambah baik.
Baik. Sila Alor Setar.
Terima kasih Tan Sri Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Saya ucap tahniah atas keterbukaan pihak Yang Amat Berhormat mengakui laporan ataupun indeks tersebut. Soalan saya Yang Amat Berhormat ialah PBB World Investment Report juga melaporkan kita mengalami penurunan 50 peratus berbanding tahun 2022. Adakah ini juga menyumbang kepada turunnya ranking dalam daya saing dunia? Pertama. Kedua, kalau mengikut laporan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan (II) pada tahun lalu, Yang Berhormat Bukit Mertajam melaporkan negara kita berada pada landasan yang tepat untuk capai top 12 pada tahun 2030 tapi tahun ini turun. Adakah sekarang ini landasannya tersasar? Ketiga, kita ada lagi baki enam tahun untuk mendaki 22 anak tangga untuk capai top 12 pada tahun 2030. Sasaran ini tinggi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan saya percaya ini sasaran negara. Ini bukan sasaran Yang Amat Berhormat Tambun seorang. Sasaran ini sasaran secara kolektif. Namun, kebimbangan kita Yang Amat Berhormat ialah indeks daya saing ini cerminan kepada daya saing Kabinet. Kita tengok Yang Amat Berhormat bekerja siang, malam. Pergi sana, pergi sini untuk meningkatkan indeks ini. Namun, nampaknya mungkin ada beberapa orang Menteri yang tidak ada daya. Bukan setakat daya saing, tidak berdaya. Takut nanti kepala kereta api pi sorang-sorang, saya tinggal gerabak kat belakang. Pusing-pusing tengok gerabak tak ada. Jadi, adakah Yang Amat Berhormat nak tukar gerabak-gerabak yang rosak dan lambat itu dengan gerabak-gerabak orang yang baharu supaya kita boleh memacu? [Ketawa] [Tepuk] Terima kasih Tan Sri Speaker.
Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat. Dari segi- ya, tepat. Memang Jemaah Menteri dan juga Majlis Daya Saing yang melibatkan MITI dan productivity council itu memperinci dan sebab itu saya tidak ambil satu pendekatan yang defensif. Kalau ada teguran yang kita agak alpa, kita baiki dan ini tanggungjawab keseluruhannya, bukan sahaja Jemaah Menteri, KSU dan ketua- ketua pengarah dan agensi-agensi kerajaan. Tetapi saya nak juga tekankan, kalau ikut Laporan IMD ini, kedudukan Malaysia bagi subsektor prestasi ekonomi, itu nombor lapan. Masih tidak membimbangkan. Tapi bila perinci, memang membimbangkan. Saya tak nafikan kerana kita tengok keadaan ringgit dulu dan keadaan kita belanja untuk subsidi yang
bertambah dan lewat dalam melaksanakan penyesaran subsidi. Tetapi saya percaya Yang Berhormat Alor Setar, kalau kita ambil langkah-langkah ini dengan tegas, dia boleh melonjak dan ikut unjuran kita. Kalau berdasarkan prestasi suku tahun pertama 2024, kita akan dapat meningkat jauh lebih baik daripada laporan yang sebelumnya. Ada orang buat tafsiran-tafsiran lain juga tentang kerana apakah ada pendirian kita keras dalam isu- isu hubungan kita dengan China dan hubungan kita dengan Iran dan juga hubungan kita dengan Hamas-Gaza itu menjejaskan. Saya tidak fikir ini tepat sebab laporan ini masih berdasarkan pada akar-akar, walau agak keras terhadap Malaysia. Tapi saya setuju bahawa semua, termasuk saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri, semuanya harus perbaiki prestasi kita sedaya upaya kita. Jadi, saya terima baik teguran itu dan saya akan sampaikan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri. Terima kasih.
Saya jemput Sri Gading. Silakan.
Terima kasih Tan Sri Speaker. Kalau kita lihat dari segi pencapaian yang dianggap menurun dan juga sasaran pada tahun 2030, top 12 yang dianggap bahawa kepala kereta api berjalan lebih laju daripada gerabak. Jadi, ini satu peringatan kepada kita semualah. Saya harap itu satu perkara yang baik, teguran daripada Pembangkang. Apa persoalan saya, apakah tindakan segera kerajaan untuk mengelakkan penurunan berterusan dalam kedudukan daya saing negara dan sejauh mana keberkesanannya? Adakah faktor-faktor kestabilan politik? Walaupun ekonomi kita stabil tetapi kestabilan politik ini antara punca kepada kegagalan ataupun penurunan daya saing dunia untuk negara kita Malaysia tercinta ini? Terima kasih.
Baik. Silakan.
Terima kasih. Saya jelaskan tadi, jika kita teliti laporan dan kita ambil tindakan yang bersesuaian, saya yakin peningkatan akan cepat. Kalau kita kenal pasti point by point teguran dia, soal ringgit, soal penyesaran subsidi, ini memang kita atasi. Jadi, saya yakin akan perbaiki. Kestabilan politik membantu tetapi lebih daripada kestabilan politik ialah dasar kerangka ekonomi Madani yang jelas. Ini akan membantu. Selain daripada itu, tindakan-tindakan tambahan, terutama Pelan Tindakan Daya Saing Negara di antara MPC-MITI, itu menjelaskan cara terperinci. Tapi ini bukan andaian. Kalau ikut prestasi suku tahun pertama, ini jauh lebih baik ya. Apakah dapat kita pertahankan? Ini cabaran buat kita dalam beberapa perkara yang saya sebutkan tadi, terutama bila Malaysia menjadi hab semikonduktor dan ini juga cabaran kepada kita.
Apakah kita dapat lakukan secara pantas untuk memberikan latihan melalui TVET dan juga latihan-latihan kejuruteraan yang bertambah kerana kita jauh kurang jumlah jurutera yang berkelayakan ataupun dalam bidang AI. Jadi, ini saya terima cadangan-cadangan ini supaya dapat kita laksanakan dalam kadar yang segera. Terima kasih.
Hulu Terengganu, silakan.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Saya mendengar teliti dan khusyuk apa yang dijawab oleh Yang Amat Berhormat berkaitan dengan daya saing dan banyak dikaitkan dengan penyesaran subsidi. Persoalan saya ialah subsidi ini telah diberi berpuluh tahun dulu, kenapa ketika itu indeks kita tak jatuh? Itu yang pertama.
Kedua, apakah pandangan Yang Berhormat Tambun, indeks ini jatuh kerana tindakan-tindakan yang tidak berintegriti. Contohnya, bila cikgu kompelin, “Jangan percaya sangat janji PM itu, gaji 13 persen naik akhir tahun ini”, terus dipanggil. Apabila ada orang kompelin, orang yang report itu diambil tindakan, bukan kes itu disiasat. Apakah ini juga berkait dengan kejatuhan indeks ini? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Cadangan tambahan data termasuk dalam laporan itu lah. Laporan IMD tidak ada kait dengan yang itu. Kalau soal mengapa penyesaran subsidi dulu boleh dilakukan, tidak menjejaskan, dia belum dalam kerangka. IMD Report yang terakhir itu menetapkan penyesaran subsidi. Sebab itu Indonesia, kerana dalam dua tahun yang lalu mengambil tindakan yang agak keras soal harga beras, harga tepung, harga gula, prestasi dia jauh melonjak ke atas, ketimbang Malaysia. Begitu juga dengan harga barang di Thailand. Kita kerana subsidi ini, kriteria unrealistic economic prescription kerana harga semuanya rendah ketimbang harga pasaran. Itu yang ditegur. Jadi, kita akan laksanakan. Yang lain itu, yang dibangkit oleh Yang Berhormat itu, kalau bagi keterangan yang lebih terperinci, saya akan cuba perhatikanlah. Soal kalau dikaitkan dengan kenaikan gaji penjawat awam, saya sudah jelaskan. Dia dah 12 tahun. Jadi, betul kita ada masalah kekangan kewangan. Tetapi, saya sebagai bapa dalam penjawat awam ini, terfikir jugalah, 12 tahun tidak ada kenaikan. Jadi, sebab itu kita pertimbangkan. Kalau naik pun, naikkan sedikit itu, ala kadar sahaja, tidak akan membantu. Akan tetapi, saya tidak fikir ini akan menjejaskan kalau penyesaran subsidi dan kerangka ekonomi keseluruhannya itu diperbaiki.
Umpamanya, sekarang ini kalau daripada penjimatan kadar tarif elektrik itu RM4.5 bilion, penjimatan daripada pengapungan– tidak meneruskan pengapungan ayam, itu RM1.2 bilion setahun. Kalau penyesaran subsidi elektrik, unjuran kita awalnya RM4 bilion, tetapi saya fikir sekarang kurang sebab kita berikan suntikan dan subsidi harga minyak bagi sektor-sektor yang terlibat; pertanian, nelayan dan sebaginya itu, akan lebih. Jadi, mungkin unjuran kita untuk penyesaran diesel itu jauh lebih kurang. Akan tetapi, kalau keseluruhannya itu akan membantu menambah keupayaan kita dan sepertimana yang saya sebut, tambahan itu akan dipulangkan untuk perbaiki sekolah, prestasi klinik kesihatan, hospital dan juga rakyat. Terima kasih.
Baik Yang Berhormat. Sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada hari ini. Sekian terima kasih. [Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat] ]
Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab LisanQuestions
Baik. Kita mulakan dengan saya menjemput Puan Isnaraissah Munirah Majilis, Kota Belud.
Terima kasih Tuan Speaker. Soalan saya nombor 1.
1. Puan Isnaraissah Munirah Majilis [Kota Belud] minta Menteri Kerja Raya menyatakan mengenai pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah: (a) setelah selesai proses pra kelayakan terpilih, apakah jenis kaedah perolehan terkini yang dibuat dan jumlah peruntukan bagi fasa 1B untuk tahun ini berserta sumber pembiayaan; dan (b) status terkini Pakej Kerja 9 yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru, mengapa proses perolehan mengambil masa yang lama.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat yang bertanya. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan anggaran jarak keseluruhan 366.8 kilometer, dibahagikan kepada 19 pakej kerja. Sehingga kini, empat pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan.
Manakala, baki 15 pakej kerja di peringkat perolehan. Baki 15 pakej kerja tersebut telah ditender mengikut kaedah tender terbuka pra kelayakan terpilih di mana proses penilaian akhir sedang dilaksanakan. Surat setuju terima atau SST kepada kontraktor yang berjaya, dijadualkan dapat dikeluarkan pada suku ketiga tahun 2024 ini. Anggaran kos pembangunan bagi projek ini adalah berjumlah RM13.99 bilion yang dibiayai secara hybrid iaitu menggunakan peruntukan Belanja Pembangunan ataupun Development Expenditure Budget dan melalui terbitan sukuk, bon oleh DanaInfra Nasional Berhad. Berdasarkan unjuran kewangan semasa, peruntukan berjumlah RM400 juta telah disediakan untuk tahun 2024 ini untuk kerja-kerja awalan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, proses perolehan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej Kerja Sembilan iaitu membina jalan dari Serusop ke Pituru mengambil masa yang lama bagi memastikan hanya kontraktor yang berkelayakan dan mampu melaksanakan projek kerja tersebut dipilih. Sukacita dimaklumkan bahawa proses penilaian akhir sedang dijalankan, di mana surat setuju terima (SST) bagi pakej kerja tersebut dijangka akan dapat dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini juga, 2024. Projek dijangka siap dalam tempoh tiga tahun selepas penyerahan surat setuju terima tersebut. Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah projek berimpak tinggi. Ia merupakan projek keutamaan Kementerian Kerja Raya. Justeru itu, Kementerian Kerja Raya komited untuk memastikan projek ini dilaksanakan mengikut perancangan seterusnya dapat menambah baik jaringan infrastruktur jalan raya persekutuan di Sabah. Sekian, terima kasih.
Baik. Kota Belud.
Tuan Speaker, saya mohon sedikit masa untuk memberi soalan tambahan kepada Yang Berhormat Menteri memandangkan isu ini adalah isu serius dan memang sangat dekat di hati Sabah. Saya rujuk artikel di laman rasmi Kementerian Kerja Raya pada April, 8 April 2021. Saya quote, “Satu lagi pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru dengan kos sebanyak RM513 juta pula telah diluluskan dalam RMKe-12 dan dijangka akan mula dilaksanakan pada suku ketiga 2021”. Mengikut jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri sebentar tadi, proses perolehan mengambil masa yang lama untuk memastikan syarikat yang benar-benar layak dan berkemampuan untuk melaksanakan pakej ini. Tuan Speaker, daripada sepatutnya suku ketiga tahun 2021, pergi suku ketiga tahun 2024 bah. Tiga tahun, Tuan Speaker untuk kita kenal pasti mencari kontraktor yang benar-benar layak. Ini bukannya projek jalan kita mahu buat pergi
bulan. Ini projek jalan raya bah. Jadi, kalau sampai begini sahaja, kalau begini sahaja, kan sampai bila-bila kita kan Sabah tertinggal tau, untuk dari segi Pan Borneo ini. Sudah diluluskan peruntukan pun untuk dilaksanakan pada tahun 2021. Kalau tiada peruntukan, saya faham. Jadi, sebelum rakyat Sabah membuat persepsi bahawa KKR kah, Jabatan Kerja Raya kah, saya sebagai Ahli Parlimen...
Yang Berhormat, saya ingat poin-poin itu sudah jelas.
Sekejap, saya Ahli Parlimen Kerajaan...
Baik Menteri jawab.
Saya Ahli Parlimen Kerajaan tidak mahu benda itu berlaku Yang Berhormat Tan Sri. Jadi, saya minta kalau boleh Yang Berhormat Menteri menjelaskan kronologi dan mengapa itu berlaku. Saya minta, ini bukan soalan saya. Saya minta, saya membuat saranan di sini supaya make known to the Parliament, Projek Pan Borneo Fasa 1B.
Sebab itu saya minta Yang Berhormat Menteri jawablah.
Fasa 1B ini, make known to the Parliament. Kalau boleh kita buat satu tahun dalam dua kali. Jelaskan kepada Ahli Parlimen sebab jangan sampai sudah keluar pula Audit Negara, Laporan Audit Negara, baru kita tahu tertinggal dan sebagainya.
Yang Berhormat, point taken, point taken.
Terima kasih.
Menteri noted sudah itu. Okey, sila jawab Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Belud, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya saya telah jelaskan. Memang betul ia mengambil masa begitu lama dari 2021 sehinggalah sekarang. Tetapi, saya ndak lah ceritakan yang sebenarnya. Ia banyak masalah. Ada kala masalahnya pun berpunca daripada di sana juga kerana ada berebut-rebut dan sebagainya. Jadi, kita hendak pastikan sepertimana saya nyata dalam jawapan saya tadi, kita hendak pastikan di mana kita pilih kontraktor yang betul-betul berkelayakan dan betul-betul yang mampu kita harapkan akan menyiapkan projek ini. Oleh sebab itu, jadi yang itu historical lah Yang Berhormat. Sekarang saya jaga di sini, saya telah menyatakan sebab itu kita dalam beberapa bulan ini telah mempercepatkan proses itu. Sebab itu saya telah nyatakan surat setuju terima ini akan kita keluarkan, saya harap dalam masa terdekat, dalam masa suku ketiga tahun ini, 2024. Itu jawapan untuk Pakej Sembilan itu.
Yang 1B ini kita tidak ada masalah Yang Berhormat, sebab tender secara terbuka telah kita laksanakan dalam penilaian sekarang dan akan kita muktamadkan. Surat setuju terima saya telah jelas sebut tadi akan kita harap keluarkan dalam suku ketiga tahun 2024. Dalam dua tiga bulan ini sahaja sebab kita memerlukan masa untuk kita memperhalusi prosedur- prosedur yang sepatutnya untuk kita pastikan kita memilih kontraktor dalam fasa 1B ini dengan kontraktor-kontraktor yang betul-betul layak. Ini supaya kita tidak mengulangi kelemahan kita yang terdahulu. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Baik, Beluran.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Kalau kita lihat pencapaian Pan Borneo antara Sabah dengan Sarawak. Sarawak jauh ke hadapan Tan Sri. Orang Sabah melihat bahawa ini kerana sebelum ini dan ketika ini Menteri KKR ini daripada Sarawak. Daripada Sarawak. Sebab itu dia ada kelancaran yang extraordinary tetapi bukan tuduhan. Saya ingin mendapatkan maklumat tambahan dan perincian daripada Yang Berhormat Menteri apa yang dikatakan oleh Menteri antara faktor kelambatan ini adalah disebabkan oleh pihak sana, bererti orang Sabah. Tadi itu yang orang cakap, bukan saya cakap. Orang cakap Yang Berhormat Menteri, orang Sarawak control. Tadi Yang Berhormat Menteri kata ada faktor di sana bererti orang Sabah di Sabah. Kelambatan disebabkan ada elemen berebut-rebut, ha. Yang itu perlu dijelaskan apa sebenarnya itu?
Maksud Beluran?
Kerana kalau tidak, orang Sabah menuduh KKR control, Sarawak control, the Minister from Sarawak, sebab itu Sarawak jadi lebih lancar.
Baik.
Jadi apa yang sebenarnya berebut-rebut itu Yang Berhormat Menteri? Terima kasih.
Baik. Baik, terima kasih.
Saya Tuan Yang di-Pertua tidak menafikan memang satu fakta yang sebenarnya di Sarawak kurang lebih panjang jalannya sama, ratusan kilometernya tetapi kita hanya bersetuju untuk mendapat 11 pakej sahaja ya. Lebih mudah urusan, lebih mudah daripada faktor-faktor yang lain. Satu lagi, pengambilan tanah lebih mudah di Sarawak sebab jajarannya tidak memerlukan kita terlalu banyak buat kerja pengambilan tanah ya. Itu bukan mudah di Sarawak, Yang Berhormat pun tahu.
Selain itu, pengalihan utiliti lebih sukar di Sabah dari di Sarawak. Banyak fakta-fakta yang begitu memudahkan pelaksanaan di Sarawak dan iaitu saya nak jelaskan. Boleh bagi saya peluang?
Sila, sila.
Sebab itu managementnya lebih mudah. Betul, mantan Menteri memang dari Sarawak. Beliau amat berkebolehan, tidak kira Sarawak, Sabah pun. Saya di Sarawak, saya pandangan berat juga, penting juga kepada Sabah. Jadi saya kata betul, saya difahamkan sebelum saya masuk ke kementerian ini, mengapa pelaksanaan projek 1A di Sabah sukar sangat disiapkan sebagaimana kita telah buat di Sarawak? Memang betul, di sana 35 pakej, di Sarawak 11 pakej. Lebih sukarlah kita menguruskan, rumit dan berebut-rebut itu betul lah. Berebut-rebut tidak salah sebab banyak kontraktor, banyak pihak-pihak yang mungkin berkepentingan. Jadi lobi- melobi, ini fakta, semua kita tahu ya. Janganlah tuduh saya sebagai saya menuduh sebarang tidak. Ini this is what happened. Yang Berhormat pun tahu. Mungkin Yang Berhormat pun lebih tahu daripada sayalah keadaan sebenarnya. Jadi, looking forward Yang Berhormat. Saya memohon kerjasama dari semua pihak. Lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin dari Sabah. Kita bersama bantu saya selagi saya di sini. Kalau orang lain di sini, bantu orang lain yang akan di sini. Kita selesaikan pelaksanaan 1B ini dengan terbaik. Sekian, terima kasih.
Baik, terima kasih.
Tan Sri, Tan Sri, ada satu ...
Saya pun berebut-rebut ini. Saya berebut nombor dua sekarang.
Ada soalan satu penting Tan Sri.
Tak, tak. Saya berebut nombor dua sekarang. Soalan nombor dua, Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli, Dungun.
Lembu kenyang sudah tua, Soalan saya nombor dua.
Silakan Yang Berhormat Menteri.
2. Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan perancangan pengekalan bakat (talent retention) para graduan TVET Malaysia-China Institute (MCI) agar kemahiran mereka dapat dimanfaatkan dalam industri tempatan dan tidak mengalir ke luar negara.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengucapkan selamat kembali ke tanah air. Insya-Allah beroleh haji mabrur dan sai’yan masykuran insya-Allah. Yang Berhormat, tidak ada lembu yang kenyang dan tidak ada lembu yang kurus.
Ya.
Tetapi yang penting ialah soal komitmen termasuk soal TVET Yang Berhormat bangkitkan. Kerajaan buta warna dalam soal ini. [Tepuk] Insya-Allah dengan pelaksanaan program TVET sebagai suatu sistem yang baru di dalam pendidikan alternatif, MCI ataupun Malaysia-China Institute ditubuhkan adalah berikutan dengan fokus Yang Amat Berhormat Perdana Menteri daripada Dasar Pandang ke Timur kepada Dasar Kerjasama Timur di mana dahulu ia hanya memfokuskan kerjasama dan melihat kepada soal-soal pembangunan teknologi dan pemindahan teknologi hanya daripada Jepun dan Korea tetapi hakikatnya kini China menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar di dunia. Malah dari segi teknologi perkongsian dan juga pemilihan teknologi dilakukan oleh mereka. Apabila saya mengadakan lawatan rasmi ke China baru-baru ini, daripada dua sahaja institusi TVET yang menjalinkan kerjasama dengan Malaysia, ketika itu terdapat 220 institusi TVET dan juga penggiat industri yang mahu bekerjasama dengan Malaysia untuk menawarkan kursus TVET. Maka, kerajaan mengambil keputusan supaya diwujudkan Malaysia-China Institute sebagaimana wujud Malaysia British Institute, German Malaysia Institute dan sebagainya untuk menggamit supaya technology transfer ini dengan ini dapat dilakukan. Hasilnya, beberapa bidang baru telah ditawarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia. Antaranya ialah tentang soal automatif daripada automatif berkonsepkan konvensional kepada teknologi baru. Bukan sahaja EV tetapi REV termasuk hidrogen. Begitu juga dalam renewable energy dengan izin, solar dan sebagainya, IoT, AI dan robotik. Ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia. Soal retention, pengekalan bakat atau skill, itu dijadikan keutamaan. Pelajar- pelajar kita apabila mereka tamat nanti tidak akan bekerja dengan syarikat-syarikat China di negara China, sebaliknya mereka akan pulang dan bekerja sama ada dengan syarikat-syarikat Malaysia atau bekerja dengan syarikat-syarikat China di negara kita sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan mereka dan menggunakan tenaga tempatan yang berketerampilan untuk diberikan peluang. Di samping itu, kita tahu bahawa lawatan Perdana Menteri China Li Qiang baru-baru ini juga telah memberikan indikasi bahawa banyak lagi tempat-tempat
yang akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia. Insya-Allah saya akan lakukan tindakan susulan bersama-sama dengan pegawai-pegawai yang lain. Oleh sebab itu, apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri meletakkan Majlis TVET Negara di bawah Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Sekretariat TVET Negara juga diletakkan di bawah saya, maka langkah-langkah proaktif dilakukan bukan hanya sekadar untuk memperkukuhkan MCI ini. Tetapi pada waktu yang sama, kita juga berhajat untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 250 peluang pekerjaan pada mulai pertengahan tahun ini hingga tahun hadapan, kerana terdapat kira-kira 250,000 tempat di institusi-institusi TVET dan insya-Allah kursus jangka pendek dan sederhana akan dapat memberikan pekerjaan dan peluang pekerjaan ini akan dapat diwujudkan. Dengan secara tidak langsung, pengangguran ketara akan dapat dikurangkan dan separa pengangguran akan dapat juga dikurangkan. Dengan langkah-langkah ini, insya-Allah indeks pengangguran akan diturunkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada kadar sekarang dan langkah yang kita ambil ini adalah merupakan langkah proaktif kerana FDI pelabur asing memerlukan pada tahun ini saja 30,000 jurutera dan negara tidak dapat menawarkan pekerjaan itu. Namun, alternatifnya ialah kursus-kursus TVET sama ada jangka pendek atau jangka sederhana dan kemudiannya para pelajar ini akan diberikan peluang untuk mengambil kursus profesional apabila mereka telah melepasi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2 dan ini adalah jalan yang ringkas untuk mereka mengambil diploma dan juga memasuki ijazah tanpa ada kelulusan akademik yang tinggi di dalam SPM.
Sila Dungun.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri atas jawapan yang diberikan. Di antara faktor utama kelemahan daya saing Malaysia 2024 ialah bakat termasuk sumber manusia, R&D dan lain-lain. Adakah penubuhan MCI turut merangkumi komponen berorientasikan tarikan pelaburan bukan sahaja serampang satu mata melibatkan pengekalan bakat tetapi juga tarikan pelaburan bakat dari luar untuk pelaburan negara kita? Terima kasih.
Silakan Menteri.
Tan Sri Yang di-Pertua, tentang soal dengan izin brain drain tidak akan berlaku. Ertinya bakat daripada dalam negara keluar tidak akan berlaku. Namun bakat daripada luar di dalam kategori pekerjaan tertentu sahaja yang mungkin akan diberikan pertimbangan oleh Kementerian
Sumber Manusia (KESUMA) dan juga KDN tetapi keutamaan mesti diberikan kepada rakyat tempatan. Saya menyatakan bahawa HTVET ini dengan izin, ertinya kursus-kursus TVET ini telah bertukar daripada kursus-kursus biasa jahitan, masakan dan sebagainya ditukar kepada HTVET ini ya. Itu diteruskan, namun fokus dan tumpuan kepada teknologi baharu ini dan pada hemat saya minda di kalangan ibu bapa ini juga telah bertukar di mana dulu persepsinya Tan Sri Yang di-Pertua, ibu bapa menganggap mana-mana anak-anak mereka yang masuk dalam TVET ini dianggap sebagai pelajar-pelajar kelas kedua. Tapi tidak lagi sekarang ini, kerana kita lihat bahawa 70 peratus pelajar- pelajar yang masuk ke universiti tahun pertama adalah terdiri daripada pelajar- pelajar wanita. Hanya 30 peratus sahaja lelaki. Ke mana mereka akan pergi kalau kita tidak ada mempunyai pendidikan alternatif kepada mereka dan kita mencari jalan yang lain untuk mereka juga akhirnya melanjutkan pelajaran ke universiti tanpa kelulusan akademik yang cemerlang. Namun kelulusan kemahiran seperti TVET ini adalah jalan untuk mereka juga melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional dan teknikal di Malaysian Technical University Network (MTUN) yang ada lima di Malaysia termasuk UniKL yang telah memulakan kerja-kerja yang baik. Malah dua buah universiti telah menubuhkan fakulti AI iaitu UTM sendiri dan juga Universiti Teknikal Melaka (UTeM) dan kini UniKL juga sedang menubuhkan fakulti AI. Ini tujuannya adalah untuk memfokuskan kepada HTVET yang saya sebutkan dan tentunya kita tidak boleh lari daripada meletakkan maqam ataupun level bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menjadi fokus kepada pelabur-pelabur asing dan ini mesti dilakukan ketersediaan dari segi guna tenaga yang berketerampilan.
Baik, saya jemput Jelebu.
Terima kasih Dato’ Sri Yang di- Pertua. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada pihak kerajaan terutamanya Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri tentang menekankan kepentingan TVET terutamanya bagi mengatasi masalah pengangguran. Dengan penubuhan Malaysia-China Institute ini Tan Sri Yang di- Pertua dan penglibatan syarikat-syarikat daripada China, boleh atau tidak pihak kerajaan memberikan penjelasan tentang tawaran pertama ataupun kuota pelajar pertama daripada China. Berapa banyak yang ditawarkan kepada negara kita dan yang penting sekali ialah kerana TVET Malaysia ini merentasi pelbagai kementerian untuk apakah langkah pihak kementerian untuk menyelaraskan tentang pelbagai bidang di peringkat kementerian? Terima kasih Tan Sri.
Sila Menteri.
Tan Sri Yang di-Pertua, memang ianya merentasi 12 kementerian dan sebanyak 1,345 institusi TVET di seluruh negara, kerajaan dan swasta dan RM6.8 bilion dibelanjakan untuk mengendalikan TVET ini. Tetapi saya melihat dari segi dengan izin cost-effectiveness, bukan dengan belanja yang banyak maka keberkesanannya adalah positif. Tetapi kita harus lihat kursus-kursus yang ditawarkan itu mesti kursus-kursus yang bersesuaian dengan permintaan pada pasaran guna tenaga. Itulah sebabnya kita elakkan supaya tidak berlaku mismatch dengan izin dan kita mahu kursus-kursus yang ditawarkan itu ialah kursus yang ditentukan keperluannya oleh penggiat-penggiat industri agar mereka ini terus dapat bekerja di syarikat-syarikat berkenaan. Apa yang telah kami lakukan sekarang ini ialah penggiat industri atau syarikat-syarikat itu terus menandatangani dengan izin memorandum of agreement dengan institusi TVET. Jadi, pelajar-pelajar yang bakal tamat suatu kursus itu akan terus bekerja. Itu sebabnya dari segi kebolehpasarannya pada nisbah yang agak tinggi national average nya ialah kira-kira 94.5 peratus yang mengikuti kursus TVET ini mendapat pekerjaan. TVET di bawah KKDW khususnya di bawah MARA berada di tahap 98.5 peratus daripada mereka itu beroleh pekerjaan. Ini bukan bererti 1.5 peratus tidak ada pekerjaan, 1.5 peratus itu melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi di peringkat diploma, ijazah dan juga sarjana. Untuk maklumat Dewan yang mulia ini juga kita lihat bahawa berbalik tentang MCI ini, saya berterima kasih kerana salah seorang Ahli Parlimen kita yang juga Pengerusi RISDA telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat MCI dan melalui belia mahir yang diketuai oleh beliau dan rakan beliau telah dapat menggamit 5,125 tempat untuk pelajar-pelajar Malaysia dihantar ke negara China dengan biasiswa sepenuhnya. Pihak kerajaan atau organisasi hanya perlu membayar tiket penerbangan sahaja. Saya telah menyebutkan bahawa dengan tawaran yang begitu saya telah membuka peluang ini untuk 500 tempat pelajar-pelajar keturunan Cina, 200 pelajar India, 200 pelajar-pelajar daripada Sabah, 200 pelajar daripada Sarawak yang kita beri peluang untuk mereka mendapat pendedahan daripada negara China. Itu sebab daripada awal mukadimah saya, saya color blind, saya buta warna dan kerajaan buta warna di dalam soal memberikan peluang untuk rakyat Malaysia mengikuti kursus TVET ini.
Baik, saya jemput Dato' Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali, Pekan.
3. Dato' Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali [Pekan] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah status pelaksanaan Dasar Gaji Progresif di peringkat kementerian dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.
Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Pekan. Tan Sri Yang di-Pertua saya mohon keizinan untuk membawa secara bersekali soalan nombor tiga daripada Yang Berhormat Dato' Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali, Pekan. Soalan nombor 46 Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman, Bachok. Soalan nombor 89 daripada Dato' Abdul Khalib bin Abdullah, Rompin. Soalan nombor tujuh Yang Berhormat Tuan Haji Azli bin Yusof, Shah Alam dan Yang Berhormat Tuan Ts. Zahir bin Hassan, Wangsa Maju. Tan Sri Yang di-Pertua, kerajaan telah menetapkan matlamat bagi menambah baik struktur gaji dan upah pekerja sektor swasta melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) pengenalan dasar baru ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu perintah gaji minimum dan sistem upah yang dinaikkan dengan produktiviti ataupun Productivity Linked-Wage System (PLWS). Pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) bermula pada Jun hingga Ogos 2024. Walau bagaimanapun majikan telah boleh mula berdaftar melalui laman sesawang www.gajiprogresif.gov.my. Pada 15 Mei 2024 pembayaran insentif diberi bagi tempoh setahun, pelaksanaan projek rintis DGP bertujuan untuk menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan. Penilaian impak projek rintis akan dibuat pada September 2024 sebelum pelaksanaan DGP secara menyeluruh sebelum diputuskan oleh Jemaah Menteri yang dijangka akan berlaku pada Oktober 2024. Sehingga Jun 2024 Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesatuan Hal Ehwal Pekerja (JHEKS) dan Kementerian Ekonomi telah menganjurkan serta menghadiri sebanyak 16 sesi libat urus yang melibatkan wakil majikan dan pekerja. Berdasarkan sesi libat urus, dapati majoriti pihak majikan dan pekerja memberi maklum balas yang positif terhadap pelaksanaan DGP.
Ini turut digambarkan menerusi sambutan yang amat menggalakkan dalam sesi Town Hall Projek Rintis DGP yang telah diadakan pada 6 Jun 2024 lalu di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang disertai oleh 1,500 peserta. Tan Sri Yang di-Pertua, permohonan majikan untuk menyertai projek rintis DGP juga kian meningkat. Majikan yang berminat boleh memohon melalui laman
sesawang www.gajiprogressif.gov.my. Sehingga 25 Jun 2024, seramai 732 majikan telah membuka akaun menerusi sistem gaji progresif. Daripada jumlah tersebut seramai 237 ataupun 32 peratus majikan telah mengemukakan permohonan untuk penyertaan projek rintis DGP. Sebanyak RM50 juta telah disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif pada 1,000 majikan. Pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula pada Oktober 2024 apabila pihak majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan. Pemberian insentif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 sehingga RM4,999. Proses pemilihan 1,000 majikan untuk menyertai rintis DGP adalah berdasarkan kepada beberapa syarat iaitu: (i) berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, pihak berkuasa tempatan atau lain-lain pertubuhan; (ii) berdaftar dengan PERKESO dan KWSP; (iii) bukan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional; (iv) tuntutan insentif hanya kepada pekerja warganegara Malaysia; (v) menggaji pekerja-pekerja sepenuh masa di bawah suatu kontrak perkhidmatan; dan (vi) menggaji pekerja yang menerima pokok tidak melebihi had gaji yang didaftarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif. Bagi projek rintis, had gaji yang ditentukan adalah antara RM1,500 hingga RM4,999 sebulan. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Saya jemput Pekan.
Terima kasih atas pencerahan tersebut. Tapi sebagaimana kita ketahui, setakat ini kita dapat melihat beberapa dasar tentang gaji ini telah digubal. Sebelum ini kita gunakan Dasar Gaji Minimum dan sekarang Dasar Gaji Progresif. Soalannya, adakah dengan pengenalan dasar gaji baharu ini akan menghapuskan dasar gaji minimum? Keduanya adakah Dasar Gaji Progresif akan menggantikan perintah gaji minimum sedia ada? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dipersila Menteri.
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Pekan. Jawapannya tidak Tan Sri Yang di-
Pertua. DGP ini adalah pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada dan dilaksanakan secara sukarela oleh pihak tanpa pindaan kepada undang-undang. Perintah Gaji Minimum ini akan terus dikuatkuasakan dan hanya majikan yang patuhi perintah yang tersebut layak untuk mendaftar sebagai majikan gaji progresif. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Baik, Hulu Selangor silakan.
Terima kasih Tan Sri Speaker. Terima kasih kepada YB Menteri di atas penjelasan. Soalan tambahan saya, bagaimanakah kerajaan memastikan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif berfungsi dengan baik dan adil demi kepentingan kepada majikan dan juga pekerja bagi memastikan adil bagi kedua-duanya. Dan juga adakah kerajaan mempunyai perancangan mengenai exit policy Dasar Gaji Progresif untuk mengelakkan kebergantungan inisiatif yang berterusan daripada kerajaan dalam jangka masa yang panjang. Terima kasih.
Sila Menteri.
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Terima kasih soalan yang diajukan. Sebenarnya apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi sememangnya kita tidak terlalu lama kebergantungan kepada pihak kerajaan. Kita kena pasti bahawa pendapatan kerajaan mesti didahulukan. Ini dalam jangka masa yang panjang kita mesti memastikan bahawa kebergantungan itu tidak semestinya akan berterusan. Peruntukan kerajaan adalah lebih bersifat sementara dan bukan subsidi yang berterusan. Itu maksudnya. Bagi menggalakkan majikan menyertai DGP dan menaikkan gaji pekerja ini, adalah peringkat asas untuk kita memastikan bahawa mereka dapat kepada exit policy yang kita lakukan. Ini sangat fleksibel kepada pihak kerajaan. Pencapaian objektif program sebenarnya bergantung juga kepada kemampuan kewangan daripada pihak kerajaan dan peningkatan daya saing syarikat itu sendiri. Sebab itu apabila mereka mendapat sahaja mendaftar di DGP ini, kita akan memberi latihan di HRD Corp supaya mereka dapat mematuhi segala apa yang kita hendak lakukan. Ini semua kita panggil untuk pastikan latihan-latihan yang mereka boleh terima serta boleh menentukan keberkesanan intervensi kerajaan dan usaha meningkatkan gaji pekerja itu tersebut itu sendiri. Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua.
Baik, seterusnya saya jemput Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, Kota Bharu.
4. Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan: (a) bagaimanakah kerajaan akan memastikan tercapainya sasaran sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia; dan (b) apakah dapat dibentuk ruang kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi memperoleh manfaat bersama dalam industri semikonduktor ini.
Terima kasih Tan Sri Speaker. Yang Berhormat Kota Bharu. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan Strategi Semikonduktor Nasional pada 28 Mei yang lepas. Pengumuman ini bukan sahaja mencerminkan komitmen tegas kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi negara tetapi juga menegaskan visi kita untuk menjadikan Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia. Dengan dasar dan hala tuju yang jelas, kita berupaya menarik pelaburan berkualiti yang akan memastikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global. SSN ini telah menggariskan lima sasaran utama yang akan menjadi pemacu kepada transformasi negara. Sasaran pertama, menarik pelaburan sekurang-kurangnya RM500 bilion dalam sektor semikonduktor khususnya di dalam reka bentuk ICD ataupun IC design, pembungkusan termaju, fabrikasi wafer dan juga pembuatan peralatan semikonduktor. Sasaran kedua, sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia dalam reka bentuk dan pembungkusan termaju dengan pendapatan antara RM1 bilion dan RM4.7 bilion dan melahirkan sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor yang mampu meraih pendapatan hampir RM1 bilion dan mewujudkan gaji yang lebih tinggi untuk pekerja-pekerja di Malaysia. Sasaran ketiga, kita hendak bangunkan Malaysia sebagai sebuah pusat R&D global untuk semikonduktor dengan menyediakan universiti bertaraf dunia, pusat R&D, pusat kecemerlangan yang menggabungkan bakat terbaik di Malaysia dan antarabangsa. Sasaran keempat, iaitu untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi untuk memenuhi peluang pekerjaan dalam sektor semikonduktor.
Sasaran kelima, kita hendak memperuntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion dalam bentuk sokongan fiskal untuk menjayakan pelaksanaan SSN. Ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan sumber yang mencukupi. Kerajaan yakin terhadap sasaran pelaburan yang telah ditetapkan dalam SSN ini. Mengambil kira prestasi pelaburan semasa sektor semikonduktor negara di mana sepanjang tahun 2023 sektor ini telah menyumbang sebanyak 82 peratus daripada RM84.0 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan bagi projek E&E. Selain itu, kedudukan Malaysia yang strategik, ketersediaan infrastruktur yang lengkap, kewujudan Perjanjian Perdagangan Bebas di antara Malaysia dengan negara serantau dan ketersediaan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan sektor semikonduktor. Bagi merealisasikan sasaran yang ditetapkan, SSN disokong oleh enable ataupun pemacu perubahan yang merupakan faktor penting dalam mencapai sasaran-sasaran tersebut. Pemacu perubahan SSN tersebut adalah menggalakkan penyertaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan juga syarikat modal teroka, menubuhkan infrastruktur dan kemudahan bertaraf dunia, membangun dan menarik bakat tempatan melalui kerjasama erat antara pelbagai kementerian dan juga memudah cara aktiviti pelaburan. SSN juga diselaraskan dengan pelbagai hala tuju negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12, Kajian Separuh Penggal Ke-12, Pembangunan Hala Tuju Elektrikal dan Elektronik dan sebagainya. Tuan Yang di-Pertua ataupun Tan Sri Yang di-Pertua, kerajaan akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri yang lain dalam merealisasikan sasaran SSN yang telah ditetapkan.
Pada masa ini, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak telah memainkan peranan dalam membangunkan sektor semikonduktor di negeri masing-masing, terutamanya juga di negeri Kedah. Ini dibuktikan dengan beberapa pelan pembangunan yang telah diumumkan juga. Seperti di Selangor, ada IC Design Park dan IC Design dan Digital Park di Pulau Pinang dan juga beberapa projek di Kulim Hi-Tech Park dan di Sarawak juga di pembangunan semikonduktor sebatian. Kerajaan akan sentiasa menyokong dan terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelan-pelan pembangunan masing-masing dan melihat potensi dan peluang untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menyokong pembangunan semikonduktor dalam negara. Terima kasih.
Sila, Kota Bharu.
Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Menteri tadi. Saya ada dua set soalan.
Pertama, sebagaimana yang kita maklum bahawa perkembangan pembangunan Rel Hubungan Pantai Timur ataupun East Coast Rail Link (ECRL) dijangka siap 2027. Jadi, soalan saya, adakah kementerian atau Kerajaan Persekutuan akan memanfaatkan kelebihan logistik ini menggariskan sasaran terperinci bagi industri semikonduktor khususnya untuk negeri-negeri di Pantai Timur? Umpamanya, sebagaimana Yang Berhormat sebut tadi, membina kluster- kluster E&E tertentu dan sekali gus ini menambahkan lagi syarikat semikonduktor yang beroperasi khususnya di negeri Kelantanlah, negeri saya. Keduanya, Yang Berhormat juga sebut tadi mengenai aktiviti R&D yang semua kita tahu bahawa bidang R&D semikonduktor dan juga pemproses mikro (microprocessors) ini banyak dibuat di universiti tempatan. Tapi, kebelakangan ini, peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk R&D ini semakin kecil, semakin menurun, menurun. Jadi, soalan saya, apakah pelan berdasarkan NSS ini untuk penyelidikan semikonduktor di universiti tempatan dan juga penglibatan anak-anak tempatan Malaysia itu sendiri? Terima kasih.
Silakan, Menteri.
Terima kasih, Yang Berhormat Kota Bharu. Sepertimana semua di sini mungkin sudah sedia maklum, projek ECRL ini berserta juga Projek Lebuh Raya Pantai Timur akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, terutamanya di sebelah Wilayah Pantai Timur, termasuklah negeri Kelantan dan negeri Terengganu. Bagi ini, kita melalui MIDA sedang membuat perundingan dan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk berusaha menarik pelaburan asing dan tempatan. Kita di MIDA akan terus bekerjasama― contohnya, di Kerajaan Negeri Kelantan dan agensi-agensi berkaitan, kita ada ECERDC ataupun East Coast Economic Region Development Council. Dan di negeri Kelantan, ada sebenarnya satu syarikat E&E iaitu ROHM-Wako Electronics. Nilai pelaburan melebihi RM1.7 bilion, 2,000 peluang pekerjaan yang telah diwujudkan kepada rakyat tempatan terutamanya dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknikal. Saya menyerulah, kalau boleh, kita teruskan― dah ada base itu. Kita teruskan dengan perkembangan di negeri Kelantan. Dan juga di negeri Terengganu, ada juga dua tiga perancangan. Tetapi masalahnya, yang kedua itu, nanti saya jawab, mengenai R&D dan juga bakat, talent kita. Itu sebabnya sasaran SSN itu ada target 60,000 jurutera yang diperlukan untuk pelabur-pelabur ini masuk. Saya juga berharap pihak kerajaan negeri terutamanya, seperti contoh di negeri Pulau Pinang dan Kedah, kita dapat memainkan peranan penting dalam buat perancangan untuk IC Design. IC Design ini satu peluang yang telah difokuskan
terutamanya di negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang. Tapi Kedah di Kulim Hi-Tech Park pun nampak begitu berjaya. So, kita nak menggunakan ini sebagai template-lah untuk ke negeri-negeri lain, terutamanya bila ECRL itu siap. Dari segi logistik, itu penting untuk syarikat-syarikat tersebut to move ataupun menggerakkan produk-produk itu terus kepada pelabuhan dan juga airport-lah. Soalan satu lagi. Saya amat berterima kasih kepada Yang Berhormat kerana menyoal soalan itu kerana, betul, dari sejak 2012, kita ada agensi kita CREST ini terlibat dalam kerjasama R&D melibatkan pelbagai universiti dan industri dengan peruntukan RM89 juta. Tetapi, pada Bajet 2022, CREST telah diperuntukkan hanya RM12 juta dengan tujuan pembangunan teknologi dan produk elektronik. Pada Bajet 2023, kita hanya dapat RM15 juta. Jadi, saya akan bincang dengan Menteri Kewangan Kedua. Di bawah NSS ini penting kalau kita hendak― kalau kita serius, kita perlu merancang untuk memperoleh sejumlah peruntukan dalam tempoh lima hingga enam tahun bermula tahun 2025. Sekiranya dipertimbangkan, peruntukan ini dapat digunakan bagi tujuan R&D melibatkan kerjasama universiti dan industri bagi merancakkan lagi pembangunan teknologi dan produk E&E. Dalam pada masa yang sama, untuk pengetahuan Yang Berhormat, kita juga beri penekanan dalam kita hendak beri insentif ini kepada syarikat, kita bagi satu syarat ialah untuk mereka juga memberi peruntukan untuk R&D kepada universiti- universiti untuk layak mendapat lebih insentif. Terima kasih, Yang Berhormat.
Baik. Saya jemput Paya Besar.
Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Speaker. Yang Berhormat Menteri, selamat hari lahir ya. Yang Berhormat Menteri, hari ini hari kelahiran Yang Berhormat Menteri. Saya ada dua persoalan, Yang Berhormat Tan Sri Speaker. Pertamanya, saya setuju pandangan Yang Berhormat Kota Bharu berkaitan untuk pengimbangan di antara Pantai Barat dan Pantai Timur. Yang Berhormat Menteri sebutkan tadi fasal ECRL. Tapi, saya dah panggil Pengerusi Semiconductor Association datang untuk bentangkan bagaimana progress untuk semikonduktor industri. Beliau mengatakan kita perlukan perkhidmatan udara berbanding ECRL ini kerana 95 percent barang semikonduktor ini dipindah atau dibawa ke negara-negara pengeksportan melalui penerbangan udara. Bagaimana MITI melihat perkara ini? Adakah dalam NSS tersebut termasuk? Keduanya, Tan Sri. Ya, betul, semikonduktor ini kerana geopolitical tensions dan kuasa perdagangan memberi keuntungan kepada Malaysia. Tetapi, Yang Berhormat Menteri, sekiranya krisis geopolitik ini berpanjangan, adakah ia akan memberi kesan kepada industri semikonduktor yang kita cuba bangunkan ini?
Kerana kalau kita lihat dua tahun lepas, Tan Sri Speaker, Rusia dengan Ukraine. Ukraine ada neon. Global supply dia 70 percent to 80 percent. Rusia ada paladium, 30 to 40 percent global supply untuk plating applications dengan converter. Jadi, kalau ia berterusan, Tan Sri Speaker, Yang Berhormat Menteri, bagaimana kementerian melihat― kita nak bangunkan ini tetapi barang yang nak buat semikonduktor tersebut tidak dapat di-supply kerana ada krisis peperangan di antara dua negara ini. Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Silakan, Menteri.
Ya, terima kasih. Dari segi pengangkutan, dari segi logistik untuk sektor ini, memang penting pengangkutan udara. Benar apa yang disebut tadi. I think lebih kurang 90 peratus akan dieksport melalui pengangkutan udara. Tetapi, masih lagi perlulah pengangkutan darat untuk pergi ke pengangkutan udara. Kita memang ada banyak cabaran dalam isu ini. Satunya, contohnya, kita punya airport di Pulau Pinang. Sekarang, alhamdulillah, diberi peruntukan yang lebih untuk kita menggunakan airport Pulau Pinang untuk mengeksport banyak sektor E&E. Ada yang syarikat penerbangan yang mengatakan mereka sanggup menghantar pesawat 777, contohnya. Tetapi, malangnya, buat masa ini, pesawat 777 tidak boleh mendarat di Pulau Pinang dari segi kargo. Begitu juga di KLIA dan ada juga beberapa cadangan untuk kita perbesarkan lagi airport kita di Senai di Johor. Pada masa yang sama, saya akan berbincang juga dengan Menteri Pengangkutan kerana dalam program NSS ini, logistik adalah salah satu isu yang kita perlu pastikan berjaya, kerana― saya bagi contohlah. Eksport kepada negara- negara luar melalui Singapura agak besar kerana mereka mempunyai infrastruktur yang lebih cekaplah pada masa ini terutamanya dalam sektor yang berteknologi tinggi ini. Mengenai ketegangan politik seperti peperangan perdagangan Amerika Syarikat dan China, dan juga yang disebutkan tadi krisis Rusia dan Ukraine, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada industri semikonduktor negara. Walau bagaimanapun, konflik ini, sebagai contoh di antara Amerika Syarikat dan China, turut juga memberi peluang atau opportunity kepada kita. Memberi kesan positif kepada ASEAN dan juga Malaysia kerana syarikat-syarikat multinasional ini telah mempelbagaikan lokasi mereka. They have, dengan izin, re-aligned their supply chain dengan polisi-polisi untuk de-risking dan sebagainya.
Contohnya di sektor E&E, Intel, GlobalFoundries telah melabur di Malaysia dan salah satu sebabnya ialah untuk mereka mempelbagaikan rantaian bekalan mereka dan juga dengan syarikat-syarikat MSC yang lain, ada dua, tiga yang saya boleh sebut di sini, Texas Instruments, Ericsson, Bosch dan Lam Research juga. Dalam kita nak pastikan pelaburan dalam industri E&E ini kekal stabil seperti saya jawab tadi, Yang Berhormat Takiyuddin tadi, kerajaan kita memperkenalkan Strategi Semikonduktor Nasional dan pada masa yang sama, yayasan-yayasan ini akan memberi detail lah bagaimana kita dalam masa 10 tahun ini untuk nak menjadi antara hab yang paling penting dari segi dalam semikonduktor. Sebenarnya Yang Berhormat Taki tadi, eksport kita 40 peratus, sekarang dah sektor E&E. Ya, so terima kasih.
Baik, saya jemput Tuan Manndzri bin Nasib, Yang Berhormat Tenggara.
5. Tuan Manndzri bin Nasib [Tenggara] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah bentuk bantuan yang disediakan oleh kementerian terhadap pembeli rumah yang berdepan dengan masalah "Projek Sakit" khususnya bagi projek perumahan di bawah inisiatif perumahan rakyat seperti RUMAWIP yang rata-ratanya merupakan golongan B40 serta terhimpit dengan masalah kewangan apabila terpaksa melunasi pinjaman perumahan mereka.
Salam Malaysia MADANI Tan Sri Speaker. Saya mohon izin untuk menjawab soalan Yang Berhormat Kuala Pilah secara bersama dengan Yang Berhormat Tenggara yang bertarikh 4 Julai.
Silakan.
Kerana melibatkan isu dan persoalan yang sama. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa mencari alternatif yang terbaik, yang bersesuaian dan juga efektif dalam pemulihan projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai. Selain daripada pemantauan yang berkala, sentiasa turun padang ke tapak projek, libat urus bersama agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti kaedah pencegahan atau penyelesaian yang lebih berfokus bersama pemaju dan memudah cara bagi mendapatkan penyelesaian kepada pemulihan projek perumahan swasta yang sakit. KPKT telah melaksanakan kaedah secara berfokus bagi mengurangkan beban pembeli yang terkesan iaitu pertama, mengemukakan senarai nama-nama pembeli yang terkesan dengan projek perumahan kerajaan seperti Residensi Wilayah, PR1MA, Program Perumahan
Penjawat Awam (PPAM) dan juga Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi mempertimbangkan penstrukturan semula bayaran pinjaman. Kedua, mengeluarkan surat pengesahan projek perumahan swasta sakit atau terbengkalai oleh pengawal perumahan mengikut seksyen 8A(1)(c) bagi pembeli yang bercadang untuk menamatkan Perjanjian Jual Beli Kediaman. Pembeli boleh mendapatkan khidmat peguam bagi meneruskan prosedur penamatan dan ketiga, pemantauan melalui Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), termasuk mengadakan libat urus dan perbincangan dengan pemaju untuk mencari penyelesaian bagi mempercepatkan penyiapan projek. [Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) mempengerusikan Mesyuarat] Usaha ini boleh dilaksanakan jika terdapat sokongan dan komitmen antara pemaju dan pembeli. Sebagai contoh, Projek Residensi Wilayah di Hektar Gombak dan Salak Selatan merupakan program perumahan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, sedang dalam perhatian task force bagi memastikan projek ini dapat disiapkan, seterusnya diserahkan kepada pembeli. Jangkaan masa penyiapan projek adalah di antara 12 bulan hingga 18 bulan, tertakluk kepada baki kerja yang perlu disiapkan. Untuk makluman Tuan Yang di- Pertua dan Ahli Yang Berhormat, bagi tempoh tahun 2023, Task Force KPKT telah berjaya menyelesaikan 452 projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai melibatkan 53,697 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM39.14 bilion. Sementara itu, bagi tempoh tahun ini hingga 31 Mei, sebanyak 211 projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai telah berjaya dipulihkan dengan GDV sebanyak RM17.28 bilion dan melibatkan 24,857 unit rumah. Maka, secara kesimpulannya, dalam tempoh tidak sampai dua tahun Task Force KPKT telah berjaya menyelamatkan 663 projek swasta yang sakit dan terbengkalai, telah pun menyelamatkan 78,554 orang pembeli rumah dengan melibatkan GDV berjumlah RM57.09 bilion. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Tenggara, soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Saya mengucapkan tahniah kepada kementerian kerana task force yang berjaya seperti yang telah dinyatakan. Namun walau bagaimanapun, berdasarkan senarai projek sakit di semua negeri yang dikeluarkan dalam laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 23 Jun 2024, menyaksikan
sebanyak 374 kes lagi projek perumahan sakit dicatatkan dan ia merupakan jumlah yang tinggilah. Jadi, Tenggara ingin bertanya, apakah ada pendirian daripada KPKT untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak pemaju yang gagal ini, yang memberikan masalah? Adakah pihak kementerian juga bersedia dengan keadaan mungkin subsidi diesel kita ini punya kes akan menjadi asbab-asbab yang diberikan kepada KPKT atas kelewatan-kelewatan projek yang akan datang? Terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Tenggara atas soalan tambahan. Yang mana pertama, Kerajaan MADANI sentiasa komited untuk membela nasib rakyat, termasuk pembeli-pembeli rumah dan juga kepentingan pemaju. We take a fair and balance view. Oleh kerana itu, maka kerajaan sentiasa memantau...
[Bangun]
...dan sedang dalam proses untuk meminda [Akta 118]. Mana-mana pemaju yang terlibat dalam penipuan, boleh serta akan dicadangkan, dilarang keluar daripada negara seperti hutang PTPTN. Mereka yang terlibat dalam penipuan juga boleh didakwa di bawah seksyen 18A [Akta 118] supaya it serve as a deterrent. Tidak lagi- untuk ada pemaju-pemaju yang berlaku tidak jujur. Kedua, tentang kenaikan. Memang, ada – untuk makluman Dewan ini, semua pihak sebenarnya sedar sektor komersial ini tidak menikmati subsidi diesel dulu. Dulu tak ada, sekarang pun tak ada. Maka, saya rasa ia tidak ada impak langsung kepada harga rumah tetapi kementerian akan sentiasa memantau untuk pastikan there is no profiteering.
[Bangun]
Okay, unnecessary profiteering dalam aspek ini. Sekian, terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Baik, terima kasih Dato’ Speaker. Soalan tambahan Yang Berhormat Menteri, di Kulim-Bandar Baharu mempunyai dua projek PRIMA yang gagal disiapkan iaitu mengikut jaduallah. Satunya, Residensi Seri Mahkota, Sungai Ular. Yang keduanya, Residensi Air Putih Junjong, Kulim. Kedua-dua projek ini telah melibatkan lebih 1,000 pembeli rumah yang cukup terkesan kerana sewa rumah kena bayar, pinjaman rumah pun kena bayar. Walaupun Residensi Seri Mahkota baru sahaja boleh diduduki tetapi Residensi di Air Putih, Junjong, masih belum boleh diduduki dan masih dalam
pembinaan. Walaupun soalan ini pernah ditanya oleh saya, kementerian memberi jawapan bahawa suku pertama 2024, Residensi di Junjong boleh diduduki. Tetapi hasil lawatan saya, masih lagi dalam pembinaan dan saya kategorikan sebagai projek sakitlah.
Yang Berhormat, pendekkan soalan.
Okey. Soalannya, apakah kajian kebolehlaksanaan terkini yang dijalankan terhadap konsep ‘bina dahulu dan jual kemudian’, sama ada ia praktikal untuk dilaksanakan secara meluas sebagai kaedah dalam menyekat projek perumahan sakit? Juga, berapa lama tempoh pihak kementerian beri peluang kepada kontraktor sakit bagi meneruskan projek perumahan sakit yang menyebabkan pembeli rumah ‘sakit’ untuk membayar pinjaman perumahan dan rakyat ‘sakit’ melihat projek perumahan yang gagal disiapkan? Saya juga hampir ‘sakit’...
Yang Berhormat...
...daripada— dengan pertanyaan rakyat. Yang Berhormat Menteri, tolong cari ubat untuk selesaikan projek sakit. Mohon jawapan. Saya harap persoalan saya ini, Kulim ada ong lah. Terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu yang telah bangkitkan lima kali ‘sakit’. Saya harap Yang Berhormat tidak ‘sakit’ lepas tanya soalan yang ‘sakit’ tentang projek yang ‘sakit’. Yang Berhormat, memang kita sentiasa mencari ubat mujarab untuk merawat projek-projek yang sakit. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, saya mewarisi 24 projek sakit PR1MA ketika diberikan amanah dan tanggungjawab. OIeh kerana itu, kami telah membawa- melakukan beberapa pendekatan baharu. Pertama, semua Projek PR1MA baharu wajib melaksanakan feasibility studies. If a feasibility study shows that it’s not viable, sorry tak boleh laksanakan. Kedua, mana-mana kontraktor yang tidak ada rekod yang cemerlang, okey ataupun hanya dapatkan keuntungan atas angin, akan ditamatkan kontrak. Ia perlu pastikan kontraktor yang mempunyai track record yang cemerlang untuk membela, pastikan projek-projek residensi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, kepentingan pembeli perlu dibela.
Untuk makluman semua, di mana atas beberapa langkah proaktif yang sedang rancak dilakukan, saya yakin semua 24 projek yang sakit oleh PR1MA tidak akan sembuh dan juga akan disempurnakan menjelang akhir tahun ini. Sekian, terima kasih Yang Berhormat.
Kita ke soalan yang keenam. Dipersilakan Dato' Siti Zailah binti Mohd Yusoff, Yang Berhormat Rantau Panjang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Dato’ Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya memohon untuk mengalu-alukan rombongan dari Ma'ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini Bandar Tun Razak, Jengka. Selamat datang ke Dewan. Mohon jawapan, soalan saya nombor 6.
6. Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Kesihatan menyatakan: (a) bilangan kes yang diterima menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental sehingga kini, serta apakah tindakan susulan yang diambil untuk membantu golongan yang memerlukan; dan (b) status penubuhan Institut Kesihatan Mental seperti yang disyorkan dalam KSP RMKe-12.
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat atas soalan berkenaan dengan kesihatan mental. Tuan Yang di-Pertua, sejak Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental ataupun Talian HEAL 1555 ditubuhkan menerusi NCEMH pada 21 Oktober 2022 sehingga kini, sebanyak 46,324 panggilan telah diterima. Daripada jumlah ini, sebanyak 27,361 bersamaan dengan 59 peratus klien telah menerima bantuan sokongan dan emosi. Manakala, 18,963 bersamaan dengan 41 peratus klien telah diberikan intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling. Sebanyak 288 kes tingkah laku bunuh diri telah dikendalikan meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri. Daripada jumlah ini, 161 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi dan 127 kes cubaan bunuh diri telah dirujuk dan berjaya dibawa ke fasiliti-fasiliti kesihatan KKM bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. Bagi setiap kes cubaan bunuh diri yang telah berjaya diselamatkan melalui Talian HEAL 1555 dan telah discharged daripada hospital, petugas talian iaitu
Pegawai Psikologi (Kaunseling) akan melakukan panggilan tindak susul secara berkala bagi memastikan kelangsungan rawatan dan pemulihan. Berkenaan tentang persoalan yang telah dibangkitkan mengenai institut kesihatan mental seperti yang disyorkan dalam KSP Rancangan Malaysia Ke-12. Institusi kesihatan mental di dalam KSP RMKe-12 adalah merujuk kepada Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) yang telah ditubuhkan pada 21 Oktober 2022 dan beroperasi di sebuah fasiliti di Cyberjaya. KKM telah melaksanakan kerja awalan bagi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan iaitu penyediaan brief project dan kebolehlaksanaan bagi pembelian bangunan di Cyberjaya bagi menempatkan pusat kecemerlangan tersebut. Kerja awalan ini dijadualkan selesai pada tahun 2025 dan KKM akan mengemukakan permohonan peruntukan bagi perolehan bangunan tersebut di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-13 pada tahun 2026. Sekian, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Rantau Panjang, soalan tambahan.
Ya, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas jawapan terhadap isu yang sangat membimbangkan kita. Mengikut tinjauan kebangsaan kesihatan, di mana didapati satu per enam kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental. Begitu juga, 16.5 peratus kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental dan didapati 4.6 peratus kanak- kanak yang berumur lebih daripada 15 tahun mengalami masalah kemurungan. Soalannya, apakah strategi dan pendekatan khusus kerajaan merentas kementerian dalam menangani masalah kesihatan mental kanak-kanak termasuk aspek pembangunan psikososial untuk kanak-kanak. Terima kasih.
Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Satu persoalan yang sangat baik berkenaan tentang isu kesihatan mental di kalangan masyarakat dan juga khususnya kepada golongan-golongan remaja. Saya melihat isu ini adalah perlu dilihat secara dasar dan juga pihak-pihak kementerian yang lain seperti KBS, KESUMA dan juga kementerian-kementerian yang berhubung-kait dengan masalah mental ini haruslah bekerja bersama, tidak bekerja secara silo. Juga, khusus kepada Kementerian Pendidikan juga. Satu kerjasama dan juga yang erat haruslah diperkukuhkan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan
mental kepada pelajar. Sebagai contoh, kita mempunyai Program Rakan Sebaya ataupun Kaunseling dan juga kita sedang bercadang untuk memperluaskan Program Doktor Muda kita untuk memfokuskan kepada kesihatan mental kepada pelajar. Juga, kita mempunyai fasiliti-fasiliti kesihatan yang terdapat di pusat kesihatan kita seperti MENTARI dan juga terdapat 1,088 klinik kesihatan dan juga 64 hospital menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di seluruh negara. Juga, kita mempunyai Pelan Tindakan Kesihatan Mental yang sedang dibangunkan KKM dan juga pelan tindakan ini akan merentas kementerian, di mana saya dapat melihat setiap kementerian dapat menggunakan model ataupun pelan tindakan yang disediakan oleh KKM ini sebagai rujukan bagi melaksanakan program- program berkaitan tentang kesihatan mental. Juga, kita melatih volunteer kita melalui Program MyChampion dengan memperbanyakkan sukarelawan-sukarelawan untuk terlibat bersama. Juga, untuk makluman Yang Berhormat, Talian HEAL yang telah ditanya sebentar tadi, 1555 adalah merupakan nombor yang mudah diingat dan juga kita sekarang sedang menerima tawaran daripada pihak syarikat telekomunikasi untuk membolehkan talian ini diberikan secara percuma memandangkan ketika ini talian di caj mengikut kadar yang telah ditetapkan. Kita berharap agar syarikat besar seperti CelcomDigi dan juga Maxis akan menawarkan perkhidmatan ini secara percuma. Ini akan membolehkan lagi lebih banyak golongan remaja berani untuk menghubungi Talian HEAL untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor-kaunselor. Juga, untuk menjayakan talian ini, kita juga memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan juga saya berharap agar Yang Berhormat sendiri dapat menyokong agar agensi pusat dapat memberikan tenaga pekerja kaunseling ini yang lebih banyak kepada KKM. Sekian, terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Kuala Pilah.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker.
Yang Berhormat, sebentar. Mana-mana Yang Berhormat nak bertanya itu, bila berdiri itu tolong tekan sekali. Kalau monitor ini, appear cepat, ya. Kalau Yang Berhormat berdiri tak tekan, sini tak keluar sini. Silakan Yang Berhormat Kuala Pilah.
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Speaker. Laporan Kegembiraan Dunia 2024 telah meletakkan Malaysia di tangga ke-59 iaitu turun empat anak tangga berbanding tahun 2023. Pada pandangan Yang Berhormat Timbalan Menteri, apakah faktor yang mempengaruhi
kadar kegembiraan rakyat Malaysia hari ini serta apakah usaha kementerian untuk meningkatkan literasi kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia? Adakah terdapat keperluan dan kemampuan untuk menambah perjawatan untuk pegawai psikologi di seluruh negara bagi memperluas perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial dalam usaha mempromosi literasi serta mencegah masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia? Terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih. Satu soalan yang baik daripada MP Kuala Pilah. Saya sangat tertarik dengan persoalan yang dibangkitkan berkenaan tentang tenaga kerja, terutama sekali pegawai-pegawai kaunseling. Kita di sini telah mengalami bebanan tugas tenaga kerja kaunseling yang sangat-sangat terhad di Kementerian Kesihatan. Juga saya berharap agar lebih ramai secara bipartisan untuk menyokong KKM untuk mendapatkan jumlah tenaga kaunseling ini yang berpatutan dan juga dapat meliputi kesemua fasiliti-fasiliti kesihatan di seluruh negara. Memang menjadi hasrat kami untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk perkhidmatan kesihatan mental ini. Walaupun demikian, kita menunggu agensi pusat untuk menyelaraskan sistem saraan yang baharu dan juga dengan sistem saraan baharu ini kita akan dapat melihat bagaimana untuk kita mendapatkan lagi lebih ramai tenaga kerja untuk diletakkan di fasiliti. Dan juga kita ingin beralih daripada dengan izin, core business kita untuk merawat kepada intervensi dan juga preventif di mana kita memberikan satu awareness kepada masyarakat berkenaan tentang perlunya kesihatan mental. Bukan hanya setakat di sekolah ataupun di tempat kerja tetapi meliputi semua aspek, di padang sukan. Di dalam Parlimen sendiri, saya merasakan kesihatan mental juga perlu dikawal dan juga perlu disaring kerana setiap permasalahan perlulah dibincangkan dengan baik.
Juga saya rasa kesihatan mental ini juga disumbang oleh keadaan isu-isu semasa seperti keadaan inflasi juga menyumbang kepada kadar tahap peratusan kegembiraan dan juga kadang-kadang masyarakat kita sendiri juga Dato’ Yang di- Pertua, kita agak takut dan juga stigma apabila kita merujuk diri kita untuk disaring kesihatan mental ini. Kita dilihat sebagai orang mempunyai masalah mental ataupun gila. Itu adalah satu stigma yang perlu kita hapuskan di kalangan masyarakat Malaysia di mana kesihatan mental ini adalah satu isu yang besar. Isu global yang sedang
dibincangkan di seluruh negara dan juga itu memerlukan perhatian khusus daripada dasar. Saya berharap agar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga menyokong usaha KKM untuk meletakkan Dasar Kesihatan Mental itu dapat diterima pakai oleh semua lapisan masyarakat dan juga isu kewangan dan juga isu berkenaan tentang perjalanan ke tempat kerja juga. Itu adalah menyumbang kepada kadar peratusan indeks kegembiraan di Malaysia ini. Untuk maklumat tambahan juga, ketika ini kita hanya mempunyai 200 pegawai secara Contract for Service dan juga pegawai-pegawai masih lagi dalam status kontrak. Sekian, terima kasih.
Baik. Majlis ke soalan yang ketujuh. Dipersilakan Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Yang Berhormat Tuaran.
Pergi ke sekolah di SK Pekan, Berbaju tradisi ke Gunung Kinabalu, Berdiri saya demi Sabah dan Tuaran, Soalan Tuaran soalan nombor tujuh.
7. Datuk Seri Panglima Madius Tangau [Tuaran] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sama ada pihak kementerian dapat memberikan pengecualian sewa kepada pihak sekolah yang menggunakan kemudahan stadium untuk tujuan penganjuran kejohanan majlis sukan-sukan sekolah atau menjalankan latihan, selain daripada mengenakan bayaran yuran utiliti.
Terima kasih Yang Berhormat Tuaran. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Belia dan Sukan Perbadanan Stadium Malaysia telah melaksanakan inisiatif penggunaan percuma kemudahan sukan bagi penganjuran kejohanan sukan di peringkat sekolah mulai Oktober tahun lepas. Sebelum ini, sewaan dikenakan sebanyak RM3,000 untuk separuh hari penggunaan dan RM5,000 untuk satu hari penggunaan. Manakala bagi sekolah-sekolah bukan milik kerajaan perlu membayar sewa RM4,000 untuk separuh hari penggunaan dan RM8,000 untuk satu hari penggunaan. Sehubungan itu, inisiatif pengecualian sewaan kepada sekolah-sekolah ini bertepatan dengan usaha kementerian untuk merakyatkan penggunaan kemudahan sukan di peringkat akar umbi. Pada masa ini, tawaran ini dibuka kepada semua sekolah melibatkan penggunaan trek dan kemudahan di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur Sport City, gelanggang bola jaring dan boling padang di Kompleks Sukan Bukit Kiara dan Padang Stadium Hoki Tun Razak di Kompleks Sukan Jalan Duta. Penggunaan secara percuma ini tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan. Inisiatif ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari sekolah-
sekolah di sekitar kemudahan tersebut dengan lebih kurang 13,000 murid menerima manfaat. Kementerian ini bersedia untuk meneliti usaha memperluaskan pelaksanaan inisiatif ini melibatkan kemudahan-kemudahan sukan lain di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Untuk makluman Yang Berhormat, tidak semua stadium-stadium di Malaysia berada di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan. Ada stadium- stadium yang ditadbir oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan persendirian. Kementerian Belia dan Sukan juga telah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan pihak PBT bagi menggalakkan pelaksanaan program yang sama seperti yang dilaksanakan di Perbadanan Stadium Malaysia. Justeru itu, dalam hal ini kementerian turut mengalu-alukan semua kemudahan sukan lain di bawah seliaan kerajaan negeri, PBT dan pihak persendirian untuk melaksanakan inisiatif yang sama demi memberikan manfaat lebih besar terhadap pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Silakan, soalan tambahan.
Okey, terima kasih. Terima kasih di atas jawapan sebentar tadi Yang Berhormat Menteri. Adakah Yang Berhormat sedar bahawa di Sabah masih lagi pelajar-pelajar, guru-guru sangat terbeban dengan membayar sewa apabila mereka menggunakan stadium-stadium yang dimiliki oleh Lembaga Sukan Sabah. Adakah Yang Berhormat sedar bahawa ini sebenarnya membantut pembangunan atlet, pembangunan sukan di Sabah? Adakah Yang Berhormat akan memperluaskan apa sidang tadi dan apakah langkah- langkah yang sedang diambil ke arah ini?
Okey. Seperti yang saya telah jelaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil sekarang memang kita tidak mengenakan caj. Caj kosong untuk sekolah-sekolah yang mahu menggunakan fasiliti stadium untuk anjuran hari sukan mereka. Selalu kita ditanya bagaimana sekolah boleh membuat booking? Sebenarnya senang sahaja. Pihak sekolah boleh membuat tempahan ataupun hadir ke Perbadanan Stadium ataupun hantar e-mel [email protected]. Kemudian, booking ini tertakluk kepada konsep first come first serve dan juga jika sudah ditempah, kita akan berikan mereka tarikh baharu. Apa yang telah kita laksanakan adalah tempahan Isnin hingga Jumaat. Dua slot supaya satu hari itu ada dua sekolah yang boleh menggunakan. Sesi 1, 7 pagi hingga 1 petang. Sesi 2, 2 pm hingga 7 pm. So, setakat ini saya tahu saya nak jawab soalan itu. Setakat ini tahun lepas 11 sekolah sejak bulan Oktober dan tahun ini sahaja 18 sekolah telah menganjurkan. Untuk keadaan di Sabah, saya telah bentangkan inisiatif ini kepada semua EXCO negeri yang menghadiri mesyuarat EXCO bersama KBS. Ada banyak stadium operator, mereka risau kan kos mereka. Mereka tak dapat tanggung tetapi kalau
mereka teruskan kos sedia ada juga, sekolah memang tidak akan masuk. Itu sebab kita sedang melaksanakan inisiatif ini dahulu untuk membuktikan kepada stadium- stadium lain bahawa kita tak rugi. Isnin hingga Jumaat memang tak ada orang akan masuk pun. Tak ada booking yang lain akan masuk. Apa yang kita galakkan adalah untuk pelajar sekolah. Mereka bersihkan. Kita tak caj deposit. Selepas penggunaan trek, mereka bersihkan dan ini kita boleh terapkan nilai-nilai murni kepada kanak- kanak. Mereka rasa sangat bangga kerana dapat menggunakan trek yang atlet Malaysia gunakan. Cabaran hari ini adalah untuk pihak-pihak peringkat negeri dan PBT untuk mereka mengurangkan kos pentadbiran stadium dan langkah seterusnya yang akan diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan adalah untuk kita berjumpa dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk membincangkan rate kadar yang bersesuaian untuk fasiliti sukan supaya fasiliti sukan ini mereka akan buka untuk orang awam menggunakan tanpa risau tentang kos yang PBT dan kerajaan negeri perlu bayar. Juga dengan ini, mereka boleh pertingkatkan accessibilty. Kalau kita nak galakkan gaya hidup dan membudayakan tabiat bersukan ini, kita perlu pastikan accessibility itu tak ada apa-apa halangan. Tak ada kos kepada kanak-kanak ataupun warga emas. Kita sekarang sedang melangkau untuk melihat kalau boleh fasiliti ini juga memberikan kadar percuma kepada warga emas. Kita sedang melihat semua cabaran yang kita ada untuk pastikan kita dapat membuka luas akses fasiliti sukan kepada rakyat.
Silakan Yang Berhormat Indera Mahkota.
Sik mohon.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih dan syabas kerana Yang Berhormat Menteri agak kreatif dalam soal-soal kemudahan ini. Saya percaya kementerian sedang bersedia untuk Bajet 2025. Sehubungan dengan itu, saya ingin bertanya adakah KBS akan ataupun mungkin sedang berunding dengan sama ada Kementerian Pendidikan atau pihak universiti kerajaan tempatan? Ada dua perkara. Pertama tadi stadium, itu gelanggang sedia ada. Bagaimana dengan gelanggang tetapi yang sedia ada tetapi boleh digunakan untuk lebih pelbagai sebahagiannya kerana setengah-setengah permainan yang sudah lama kita kenal ini dia sudah ada inovasinya. Contohnya dulu orang main bola, sekarang orang main futsal. Dulu orang main basketball, lima lawan lima. Sekarang main tiga lawan tiga. Kedua ialah permainan-permainan yang agak baharu seperti paddle, floorball, floor hockey. Jadi, untuk meluaskan lagi akses untuk minat anak-anak muda yang pelbagai? Terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih. Untuk sekolah dulu-- peringkat sekolah. Saya telah berjumpa dengan Menteri Pendidikan untuk membincangkan kaedah yang lebih baik untuk membantu pembaikan padang- padang sekolah.
Kalau padang sekolah rosak dan berlumpur, kanak-kanak nak main olahraga, nak berlari, memang mereka akan rasa sukar untuk berlatih ataupun nak gunakan untuk hari sukan. Oleh sebab itu, saya rasa langkah pertama, kita telah mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk membuat census terbaru ataupun kajian terbaru, pergi check, audit semua untuk kita balik dengan data berapa padang sebenarnya rosak. Kalau kita lihat, kalau padang rosak memang kebarangkalian kelas-kelas jasmani digunakan selepas hari hujan memang kosonglah.
[Bangun]
Oleh sebab itu, yang itu kita tunggu feedback daripada Kementerian Pendidikan tetapi untuk fasiliti sukan yang lain yang di luar di bawah PBT dan di bawah perbadanan stadium, apa-apa yang saya nak seru negeri lain buat, saya kena test dengan perbadanan stadium dulu. Itu sebab untuk fasiliti sukan baru juga padel, pickleball, sekarang kita banyak membuat kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai tanah untuk fasiliti sukan tetapi mereka mungkin tiada kerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan. So, sekarang persatuan sukan kebangsaan sudah mula masuk, engage dengan KPT untuk membina fasilti. Jadi saya nak ucapkan syabas kepada UiTM. UiTM banyak membantu persatuan sukan dan sekarang ini juga UM, UM telah membuat transformasi. Tenis court mereka, mereka telah tukar kepada padel dan pickleball di UM sendiri dan kita sedang bercakap dengan mereka, berbincang untuk fasiliti lawn bowls juga. Jadi kerjasama antara kementerian ini cukup penting untuk pastikan kita tak perlu belanja untuk tanah dan mereka juga tak perlu risau tak ada kemahiran untuk mengajar pelajar menggunakan fasiliti sukan. Kita sentiasa mencari ruang kreatif untuk memperbanyakkan lagi accessibility kepada fasiliti sukan.
Tuan Speaker, soalan. Satu lagi, last soalan tambahan. Boleh satu lagi?
Duduk Yang Berhormat. Saya ke soalan yang kelapan. Majlis mempersilakan Dato' Abdul Khalib bin Abdullah, Yang Berhormat Rompin.
8. Dato' Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Ekonomi menyatakan status terkini Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa Pertama dalam memenuhi sasaran pelepasan sifar karbon bersih termasuk jumlah pelaburan yang dikenal pasti serta bilangan peluang pekerjaan yang telah dijana sehingga kini.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera Dato’ Yang di- Pertua. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dibangunkan bagi mempercepatkan usaha peralihan tenaga negara. Sebanyak 10 projek dan inisiatif rintis perdana, flagship berdasarkan enam pemacu peralihan tenaga telah diperkenalkan. Pertama energy efficiency (EE) ataupun kecekapan tenaga. terdapat satu projek flagship iaitu dengan izin, efficient switch melibatkan dua inisiatif utama iaitu pembangunan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga yang dijangka selesai pada akhir tahun ini serta pelaksanaan audit bagi sektor real. Kedua, renewable energy (RE) yang mengandungi tiga projek flagship di bawahnya iaitu dengan izin RE zone, energy storage dan energy secure. Terdapat enam inisiatif utama iaitu: (i) penubuhan Zon RE Bersepadu; (ii) pembangunan Taman Suria; (ii) pembangunan solar terapung hidro hibrid; (iv) sistem penstoran tenaga; (v) inisiatif jaminan bekalan tenaga Sabah; dan (vi) solar kediaman. Ketiga hidrogen. Terdapat dua projek flagship di bawah pemacu ini iaitu hidrogen hijau seperti pelaksanaan hab hidrogen Sarawak dan hidrogen pelaksanaan elektrik seperti inisiatif pembakaran bersama hidrogen dan ammonia. Keempat bioenergy yang mempunyai satu projek flagship iaitu penciptaan permintaan biojisim. Dua inisiatif utama ialah pembangunan kluster biojisim dan pembakaran bersama biojisim. Antara contoh seperti pembakaran bersama sebanyak dua peratus telah digunakan di Loji Janakuasa Tanjung Bin dan telah siap pada suku pertama 2024. Projek ini menggunakan sumber biojisim seperti pelet tandan buah kosong (EFB) dan pelat kayu.
Kelima dengan izin green mobility. Terdapat dua projek flagship iaitu mobiliti masa depan dengan inisiatif elektrifikasi pengangkutan awam melalui penggunaan bas elektrik dan Prasarana Malaysia Berhad dan titik pengecasan kenderaan elektrik. Selain itu, bahan api masa depan melibatkan pembangunan hab bio bahan api oleh PETRONAS. Pemacu keenam, carbon capture utilization and storage (CCUS) mempunyai satu projek flagship iaitu CCS untuk industri. Inisiatif adalah penyediaan kerangka dasar CCUS serta pelaksanaan projek CCS di Kasawari dan Lang Lebah yang sedang diterajui oleh Kerajaan Sarawak. Setiap projek dan inisiatif ini mempunyai tahap kematangan yang berbeza dan kebanyakan masih di peringkat pra pelaksanaan dan ikut jadual. Berdasarkan tahap pelaksanaan projek dan inisiatif flagship tersebut, kerajaan menganggarkan pencapaian adalah lebih tinggi daripada sasaran awal iaitu pertama komitmen pelaburan adalah lebih tinggi iaitu RM60.7 bilion berbandingkan sasaran awal RM25 bilion. Kedua peningkatan peluang pekerja sebanyak 84,544 pekerja berbandingkan sasaran awal 23,000. Ketiga pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 24,264 gigagram carbon dioxide setara setiap tahun berbandingkan sasaran awal 10,000. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Rompin.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. NETR yang dilancarkan tahun lepas turut membolehkan kerajaan memberikan tumpuan membenarkan lebih banyak pembangunan perumahan bandar bersepadu berskala besar, memasukkan solar bumbung dalam pakej harga bagi membolehkan penggiat hartanah mempertimbangkan penyelesaian penyimpanan tenaga. Soalan saya, sejauh manakah analisa kos faedah dijalankan untuk pemasangan panel solar di unit kediaman melalui kerjasama penyedia rumah mampu milik seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad? Apakah bentuk inisiatif kepada pemaju hartanah untuk memasukkan pelan pajakan solar sebagai sebahagian daripada pakej mereka seperti dalam Fasa 1 NETR demi manfaat rakyat yang kurang berkemampuan serta mengambil kira unjuran peningkatan keperluan tenaga bagi menampung permintaan industri? Apakah usaha kerajaan untuk memperkasakan sektor tenaga khususnya supaya rizab tenaga negara dapat terus ditingkatkan? Terima kasih.
Yang Berhormat Menteri.
Yang di-Pertua, saya tidak mendapatkan jawapan untuk semuanya tetapi inisiatif dari segi di bawah dan program baru di bawah PETRA adalah peralihan tenaga dalam industri bekalan gas turut dirancakkan melalui pelaksanaan inisiatif ini oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). Ini termasuk inisiatif Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), Solar Peralihan Untuk Rakyat, Program Solar BOLEH! meluaskan akses rakyat kepada skim pemasangan solar di premis kediaman. PETRA turut memperkenalkan platform Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada 15 April 2024 bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentasi sempadan negara jiran dan berpandukan Guide for Cross-Border Electricity Sales (CBES) oleh Suruhanjaya Tenaga dan pembidaan akan dimulakan dengan melaksanakan projek rintis berjumlah 100 megawatt menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dan Singapura. Dari segi maklumat terperinci, ini adalah di bawah punca kuasa Kementerian PETRA. Harap dapat mendapatkan maklumat daripada mereka. Terima kasih.
Soalan tambahan. Sila tekan. Jika tidak, saya ke soalan selanjutnya. Baik, saya mempersilakan. Soalan kesembilan, mempersilakan Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa, Tampin. Ini soalan terakhir ya.
Ya. Dari Pensiangan singgah ke Tampin, Wajib pekena rendang maman, Usah malu usah segan, Silakan jawab soalan kesembilan.
9. Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa [Tampin] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha-usaha yang telah dilaksanakan setakat ini dan perancangan masa depan bagi menjadikan TVET dalam bidang pertanian sebagai kelas pertama supaya sejajar serta setanding dengan bidang-bidang TVET yang lain.
Selamat tengah hari. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ataupun KPKM sentiasa berusaha bagi memastikan bahawa TVET dalam bidang pertanian adalah setara dan setanding dengan bidang TVET yang lain.
Usaha-usaha yang dilaksanakan adalah selari dengan perancangan dan Dasar Agromakanan Negara, 2021-2030 (DAN 2.0), Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Dasar TVET Negara 2030. Bagi TVET dalam bidang pertanian, kokurikulum Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) sentiasa ditambah baik supaya selari dan memenuhi keperluan industri. Pada tahun 2023, tiga National Occupational Skills Standards (NOSS) telah ditambah baik iaitu Operasi Pengeluaran Tanaman (Tahap 3), Penyelarasan Teknologi Tanaman (Tahap 3) dan Penyeliaan Operasi Pengeluaran Padi (Tahap 3).
Kurikulum yang dibangunkan juga memanfaatkan sepenuhnya kemajuan teknologi dan digital serta dibangunkan dengan usaha sama pihak industri, akademia serta jabatan dan agensi yang berkaitan di bawah KPKM. Pelatih di pusat bertauliah di bawah KPKM juga didedahkan dengan pelbagai teknologi moden yang memberi pelbagai faedah seperti: (i) sistem hidroponik untuk pengeluaran sayuran bermutu tinggi; (ii) penggunaan dron bagi penyemburan baja untuk meningkatkan hasil tanaman; (iii) penggunaan Internet of Things bagi pemantauan secara jarak jauh; (iv) penggunaan artificial intelligence bagi melaksanakan diagnosis kesihatan terhadap ternakan; (v) pendedahan kepada teknik artificial insemination dalam pembiakan haiwan ternakan bagi memastikan penghasilan baka yang berkualiti; dan (vi) penggunaan simulator pemanduan bot nelayan dan perisian virtual reality aktiviti penangkapan ikan. Selain itu, KPKM sentiasa berusaha untuk meningkatkan fasiliti dan kemudahan latihan pertanian agar selari dengan keperluan industri dan teknologi terkini. Pada tahun 2024, KPKM telah memperuntukkan sebanyak RM26.3 juta bagi menaik taraf kemudahan di 15 pusat bertauliah seluruh negara bagi memastikan pelatih menikmati kemudahan dan prasarana yang lebih baik. Melihat ke depan, KPKM sedang merancang beberapa program. Antaranya ialah yang pertama meningkatkan akreditasi pusat bertauliah di bawah KPKM dengan pentauliahan Code of Practice for TVET Programme Accreditation ataupun COPTPA. Sistem COPTPA ini boleh membolehkan penilaian mata pelajaran atau subjek dijalankan secara kredit berdasarkan kepada Malaysian Qualification Agency
(MQA) yang diguna pakai oleh semua universiti di bawah Malaysian Technical University Network (MTUN). Beberapa mata pelajaran atau subjek daripada Sijil Kemahiran Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia boleh diartikulasikan apabila pelajar melanjutkan pengajian ke universiti di bawah MTUN. KPKM sedang berusaha untuk memperluaskan pentauliahan COPTPA ini ke semua 15 pusat bertauliah di bawah KPKM sebelum tahun 2026. Kedua, Program Malaysia – China Youth TVET Training merupakan program penempatan pelatih di China selama dua minggu yang memberi peluang kepada pelatih untuk merasai pengalaman penggunaan teknologi tinggi, budaya dan persekitaran yang berbeza di negara China. Program ini melibatkan 13 kementerian TVET di bawah penyelarasan Majlis TVET Negara dan program ini dapat mengantarabangsakan pelatih TVET pertanian, melahirkan graduan yang terlatih dan kompeten serta memartabatkan jenama dan imej institusi TVET. Ketiga, meneroka pelaksanaan program akademi dalam industri bagi TVET pertanian yang memberi peluang kepada belia yang telah bekerja di sektor agromakanan untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 semasa bekerja. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Tampin, soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang begitu komprehensif. Berdasarkan pengalaman saya semasa berjumpa dengan masyarakat di Tampin khususnya golongan belia, perkara yang timbul dan menjadi kebimbangan mereka adalah soal jaminan masa depan. Soalan saya Yang Berhormat Timbalan Menteri, sejauh manakah kebolehpasaran graduan TVET pertanian pada masa ini dan pada masa hadapan? Keduanya, apakah inisiatif yang kementerian laksanakan untuk mendidik para pelatih supaya dapat berdikari dan menjadi seorang usahawan yang berjaya dalam sektor agromakanan? Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Sebenarnya, trend kebolehpasaran graduan TVET pertanian semakin menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
[Bangun]
[Bangun]
Kalau kita lihat pada tahun 2023, dia telah meningkat kepada 72.3 peratus berbanding dengan tahun 2022 hanya 69.5 peratus dan berbanding lagi dengan tahun sebelum itu hanya sebanyak 66.3 peratus.
Sehingga kini, KPKM telah berjaya mengeluarkan seramai 24,800 orang graduan TVET dalam pertanian terlatih. Kalau kita melihat ke depan, ada lagi beberapa usaha yang dilaksanakan oleh KPKM untuk mendidik supaya memastikan pelatih TVET dan juga graduan menjadi seorang usahawan.
[Bangun]
Pertama, kita ada program Pembangunan Usahawan Tani Belia atau dikenali sebagai PROBEST di kalangan pelatih TVET pertanian. Program pembangunan ini akan memberi peluang kepada pelatih terutamanya daripada golongan asnaf ataupun B40 untuk menjana pendapatan serta menimba pengetahuan daripada segi latihan, bimbingan teknikal serta keusahawanan dalam sektor pertanian daripada pakar industri dari syarikat peneraju terpilih dalam tempoh 12 bulan sebelum pengajian mereka tamat. Kedua, lagi satu contoh, pemberian geran agropreneur muda kepada graduan TVET pertanian yang berpotensi dan mahu memulakan perniagaan dalam sektor agromakanan setelah tamat pengajian. Program ini menawarkan bantuan geran dalam bentuk barangan in-kind sehingga maksimum RM20,000 bagi setiap penerima dan bimbingan serta pemantauan selama tiga tahun. Sekian, terima kasih.
Silakan, Yang Berhormat Muar.
Terima kasih. Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya faham bahawa Yang Berhormat Timbalan Menteri dah kongsikan kementerian dan kerajaan lakukan pelbagai inisiatif melalui AI, Internet of Things, jentera yang berteknologi tinggi untuk memastikan bahawa negara capai keterjaminan makanan yang baik. Tetapi data menunjukkan sebaliknya. 10 tahun yang lepas kita hanya mengimport dalam RM40 bilion barang makanan. Kini, data menunjukkan ada peningkatan dah nak dua kali ganda, dah nak mencecah RM80 bilion. Ini jelas menjejaskan negara dan khususnya daripada sudut food security sampai negara kita terpaksa mengharapkan negara-negara luar untuk mendapat bekalan makanan yang mencukupi. Selain apa yang telah dijanjikan di atas kertas yang telah diungkap berkali- kali oleh sesiapa pun yang memegang portfolio ini, apakah jalan baru supaya negara tidak lagi mengimport barang makanan yang terlalu tinggi yang saban tahun makin meningkat dan tidak menurun walhal jawapan sama saja setiap Menteri apabila ada perubahan. Terima kasih.
Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Muar. Sebenarnya ada beberapa faktor yang telah menyumbang kepada keadaan pada
hari ini. Ada yang di dalam kawalan kita, ada yang di luar. Kalau kita mengikut survey yang dijalankan oleh DOSM, kadang-kadang faktor belia juga menjadi satu di mana mereka kurang berminat dalam bidang pertanian. Kedua, purata gaji mungkin agak rendah berbanding dengan bidang-bidang yang lain. Ketiga, persepsi yang kurang baik tentang bidang pertanian dan yang keempat masih kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing. Tetapi pada masa yang sama, kita sentiasa mengusahakan. Contoh yang saya sebutkan tadi. Untuk meningkatkan lagi kita punya prestasi dan juga akreditasi pusat bertauliah kita untuk menarik lebih ramai belia masuk ke dalam bidang ini. Untuk juga memastikan kita punya kursus dia sentiasa selari dengan teknologi dan inovasi yang moden untuk meningkat penyertaan belia dan meningkatkan kita punya pengeluaran hasil makanan. Pada masa yang sama, kita ada beberapa success story yang boleh disebut di sini. Contoh, durian, nanas, kita punya kadar sara diri untuk kedua-dua buah- buahan ini sudah melebihi 100 peratus kadar sara diri bagi negara kita dan sekarang kita fokus kepada pasaran eksport. Juga satu success story pada tahun ini, buat pertama kali dalam sejarah negara kita, kita telah mengeluarkan varieti bawang kita tersendiri hasil daripada kajian MARDI. Ini pun untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada bawang import dan meningkatkan keterjaminan makanan negara kita. Sekian, terima kasih.
Terbaik Timbalan Menteri.
Speaker, Speaker satu lagi soalan.
Yang Berhormat, duduk. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada hari ini. Terima kasih, Yang Berhormat-Yang Berhormat. Setiausaha. [Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG KESELAMATAN SOSIAL PEKERJA (PINDAAN) 2024 Bacaan Kali Yang Kedua dan KetigaBill
Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula pertimbangan yang ditangguhkan atas masalah, “Bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.” [24 Jun 2024]
Minta Yang Berhormat Menteri menyambung jawapan semalam.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Standing Order.
Baik.
Terima kasih, Tuan Speaker.
Silakan, Yang Berhormat Machang.
Semalam saya sudah hantar usul yang baru memperbaiki usul yang ditolak oleh Tuan Speaker semalam berhubung perbahasan MAHB, BlackRock. Jadi, bolehkah saya mendapat petua daripada Tuan Speaker berkenaan avenue mana lagi, dengan izin, yang boleh kami gunakan untuk kita bahaskan perkara ini? Mungkinkah Kamar Khas? Ataupun sesi khas? Jawatankuasa Hak Parlimen berkenaan dengan pengangkutan? Di manakah ruang yang masih kami boleh gunakan kalau usul sentiasa ditolak?
Sebentar, Yang Berhormat Machang. Saya rasa saya ada nota di sini. Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua telah menerima dua usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) iaitu dari Yang Berhormat Machang dan Yang Berhormat Arau pada hari Isnin, 24 Jun 2024. Betul. Kesemua usul tersebut telah diterima selepas jam 10 pagi semalam dan tidak mencukupi 24 jam hari persidangan untuk diputuskan pada hari ini. Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(2), maka ia masih dalam pertimbangan Tuan Yang di-Pertua dan akan diputuskan kelak. Jadi, Yang Berhormat Machang, dengan izin, you punya application itu masih dalam pertimbangan lagi, belum lagi diputuskan. Saya sarankan tunggu jawapan rasmi dari Pejabat Tuan Speaker sendiri dan you conclude to another perspective. Baik ya?
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Silakan, Yang Berhormat Menteri. Baki semalam ada lima minit.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Lima minit sebenarnya agak suntuk tetapi saya cuba. Saya sambung balik hari ini. Ada 21 orang yang telah berbahas.
Yang Berhormat, berapa minit dahulu? Estimation.
Saya rasa mungkin lebih kurang 10 minit.
Baik, saya bagi 10 minit.
Terima kasih. Seramai 21 orang yang berbahas dan saya sudah jawab beberapa, tinggal 15 orang lagi. Jadi, hari ini saya sambung dengan soalan dari YB Kuantan berkenaan dengan faktor kegagalan majikan membuat caruman serta denda dan kompaun yang dikenakan. Berdasarkan kaji selidik PERKESO, kita dapati bahawa majikan kategori pemilik tunggal ataupun, dengan izin, sole proprietor yang paling tinggi tidak berdaftar dan mencarum kerana:- (i) kurang kesedaran tentang kepentingan mendaftar dan mencarum; (ii) pengetahuan berkaitan PERKESO masih rendah terutamanya tentang kewajipan mencarum, walaupun sesi libat urus dan Program Bulan Pemutihan dan sesi townhall PERKESO telah banyak dianjurkan; dan (iii) tindakan penalti atas lewat mencarum dianggap masih boleh dibuat rayuan dan syarikat masih lagi boleh beroperasi selepas itu. Aktiviti penguatkuasaan, saya telah jelaskan semalam, merupakan salah satu aktiviti utama PERKESO selain daripada pembayaran faedah. Aktiviti ini dijalankan bagi mengesan dan memastikan majikan mendaftar dan mencarum dengan PERKESO. Tindakan-tindakan undang-undang― saya sudah sebut semalam. Jadi, saya tidak mahu ulang. Tetapi, saya hendak tegaskan bahawa yang paling utama bukan kita hendak menghukum ataupun mendenda tetapi yang paling utama ialah kita hendak pastikan semua pekerja dilindungi di bawah PERKESO melalui skim- skim yang berkaitan.
Justeru, dalam aspek ini, saya sudah sebut, 15 Mei sehingga 30 Jun, berbaki beberapa hari lagi, kita menganjurkan Bulan Pemutihan, tempoh pemutihan. Dalam tempoh ini, tidak akan ada denda ataupun hukuman ke atas majikan yang belum mendaftar. Jadi, saya hendak seru, saya hendak minta juga Ahli-ahli Parlimen untuk memberikan penerangan, komunikasi dan mempromosikan tempoh pemutihan ini, yang baki beberapa hari untuk tahun ini. Dalam tempoh ini, setakat ini, PERKESO telah melawat lebih 22,000 premis majikan dan dalam tempoh ini juga kita berjaya mendaftarkan 13,525 majikan baru di mana di bawah mereka ada 240,467 orang pekerja baru yang telah didaftarkan. Inilah objektif utama kita. Kita hendak supaya lebih ramai pekerja didaftarkan. Bukan kita hendak hukum. YB Kuantan juga telah menyoal tentang pembinaan pusat rehabilitasi PERKESO yang baru terutamanya di tempat lain termasuk di Kelantan. Buat masa ini, kita mempunyai sebuah pusat rehabilitasi di Melaka. Pembangunan untuk pusat kedua sedang berjalan di utara Semenanjung di negeri Perak dan dijangka akan siap hujung tahun ini. Manakala di kawasan Pantai Timur, proses pembinaan pusat rehabilitasi PERKESO adalah di negeri Terengganu. Setakat bulan Jun ini, status pembinaan pusat ini di Terengganu adalah di peringkat fasa reka bentuk sebelum permulaan pembinaan dan kerja pembinaan yang dijangka akan bermula juga pada penghujung tahun 2024. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, selain pusat rehabilitasi PERKESO― saya iktiraf bahawa peri pentingnya pusat rehabilitasi PERKESO dan saya sendiri telah melihat betapa cekapnya dan tingginya teknologi yang digunakan di Pusat Rehabilitasi Melaka. Jadi, saya faham, ramai yang inginkan pusat rehabilitasi ini dibina di kawasan masing-masing. Jadi saya hendak bagi tahu, selain pusat rehabilitasi penuh, kita juga mempunyai pusat-pusat satelit. Ada empat setakat ini di seluruh negara. Contohnya, satu di Selangor, satu di Terengganu, satu di Johor dan satu di Kuala Lumpur. Selain itu, kita juga ada 213 panel rehabilitasi di seluruh negara. Ini termasuk di negeri Pahang di mana sehingga bulan Jun ini, kita ada enam buah panel rehab yang kita panggil Return to Work untuk membolehkan pemulihan bagi orang-orang mencarum PERKESO ini kembali ke alam pekerjaan. Di Pahang, empat di Kuantan dan satu di Bentong dan satu di Cameron Highlands di Pahang. Untuk soalan YB Kuantan tentang Skim Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sama ada, ada melindungi penyakit kritikal di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri iaitu Akta 789, yang tidak ada kaitan dengan akta yang kita bahaskan pada hari ini, PERKESO sebenarnya menyediakan pelbagai faedah bagi melindungi pekerja yang ditimpa kemalangan bencana kerja merangkumi faedah hilang upaya
sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, elaun layan sentiasa, faedah pengurusan mayat, faedah pendidikan dan kemudahan pemulihan. Kita akan dari semasa ke semasa menambah baik faedah-faedah dan juga skop perlindungan yang diberikan. Seterusnya, soalan juga dari YB Kuantan, tentang menaikkan had umur bagi SKSSR yang juga ditanya oleh beberapa orang Ahli Parlimen yang lain sama ada di dalam Dewan ataupun di luar Dewan. Dalam aspek ini, KESUMA dalam usaha untuk memperhalusi lagi liputan Akta SKSSR ini bukan sahaja merangkumi cadangan menaikkan had umur tetapi juga membuat liputan kepada kategori yang lain dalam, apa yang kita sebut sebagai ekonomi ihsan ataupun, dengan izin, care economy yang bukan terhad hanya kepada suri rumah di mana pada masa kini hanya kepada suri rumah dan wanita sahaja. Yang Berhormat Ahli Parlimen Bukit Bendera ada dalam perbahasan semalam menyentuh saranan bagi caruman kepada sektor gig. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, dalam Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk memberikan subsidi kepada Skim Pekerjaan Sendiri ini di mana kerajaan membiayai 90 peratus daripada caruman tahunan dan pekerja ataupun pencarum tersebut hanya perlu membayar 10 peratus iaitu hanya RM23.30 untuk tempoh masa perlindungan setahun. Dalam isu ini juga, kita telah bekerjasama dengan pelbagai pihak contohnya Grab, Foodpanda, Shopee dan sebagainya untuk melengkapi subsidi yang diberi oleh kerajaan itu di mana syarikat platform membiayai 10 peratus selebihnya. Maka, caruman ini ataupun perlindungan ini diberikan secara percuma kepada pekerja- pekerja sektor e-hailing dan p-hailing. Hasilnya, kita nampak – semalam saya sudah bagi statistik. Hasilnya ialah kalau kita lihat Skim Pekerjaan Sendiri ini, tahun lepas sepanjang tahun, 668,000 orang pencarum. Tahun ini, setakat Jun sahaja, kita sudah ada seramai 645,000 orang pencarum. Jadi, angka separuh tahun sudah hampir mencapai angka satu tahun, tahun lepas.
Ini merupakan usaha kerja keras warga PERKESO, warga KESUMA dan saya nak iktirafkan juga kerja keras, kerjasama Ahli-ahli Parlimen yang lain. YB. Besut membangkitkan beberapa soalan. Antaranya ialah tentang latihan percuma. 25,000 kursus latihan percuma yang beliau mungkin salah faham, merupakan inisiatif PERKESO. Sebenarnya, saya ambil peluang ini untuk menguar-uarkan dan mempromosi. Sebenarnya mulai semalam, 24 Jun 2024 sehingga 30 Jun 2024 ini, seminggu ini merupakan minggu Nasional Training Week. Ini merupakan siri kedua berbanding tahun lepas, kali pertama dilancarkan Nasional Training Week, di mana
dalam minggu ini ada lebih 25,000 kursus latihan kemahiran percuma akan ditawarkan kepada sasaran kita, sekurang-kurangnya 200,000 rakyat Malaysia. Ini merupakan inisiatif KESUMA di bawah agensi kita yang lain, bukan PERKESO tetapi HRD Corp. Ada pelbagai kursus. Ada kursus untuk anak-anak kecil, Roblox Game Development contohnya. Ada kursus robotik, coding, ada kursus kraf tangan Orang Asli, Tuan Yang di-Pertua. Ada kursus kebudayaan seperti kraf sulaman, ada juga kursus-kursus pembaikan laptop, handphone, digital marketing, personal finance management, pengurusan hartanah, kursus-kursus kemahiran tinggi. Pengurusan dron, pengendalian dron, AI, Google Cloud, aplikasi smartphone dan sebagainya. Jadi, saya minta ia dianjurkan di seluruh negara. Tak kira kawasan, tak kira negeri. Dari Perlis sampai ke Sabah. Saya minta- kita ada masa lagi. Ini baru hari kedua, semalam pelancaran di Johor bersama dengan Yang Amat Berhormat MB Johor. Kita ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor. Saya minta kalau sesiapa yang berminat, minta untuk bantu uar-uarkan. Boleh pergi melayari laman web www.nasionaltrainingweek.gov.my. YB. Besut juga bangkitkan tentang faedah yang akan dinikmati oleh pencarum dengan pindaan akta ini. Saya dah sebut semalam. Kita dengan kenaikan siling gaji baru dari RM5,000 ke RM6,000, maka mereka yang bergaji RM5,000 ke atas, lebih kurang 1.5 juta pekerja, mereka akan menikmati kenaikan faedah lebih kurang 20.2 peratus. Kos tambahan pula kepada majikan, seperti yang saya sebut, saya rasa berhemah. Kenaikan kos tambahan kepada majikan setiap bulan adalah lebih kurang dari julatnya adalah RM1.70 sebulan sehingga RM17.50. Ia berdasarkan pindaan perkara ini. YB. Besut tentang tambahan umur pencarum melebihi 60 tahun, saya pun dah sebut semalam. Sebenarnya Skim Bencana Kerja tidak ada had umur. Waima seorang pekerja itu dah melebihi 60 tahun tetapi masih bekerja, mereka masih dilindungi di bawah Akta 4, Skim Bencana Kerja. Hanya Skim Keilatan yang tidak – ia mempunyai had umur 60 tahun sebab kita ikut Akta Persaraan. Kemudian, implikasi kewangan kepada kerajaan. Saya rasa saya pun dah sebut semalam sebenarnya. Kalau maksudnya ialah impak fiskal kepada kerajaan yang mungkin terpaksa membayar caruman syer majikan kepada pekerja kerajaan...
Yang Berhormat Menteri, sila gulung dan boleh jawab secara bertulis.
Boleh, boleh. Kepada pekerja kerajaan berstatus kontrak dan sementara adalah lebih kurang RM6.3 juta. Saya nak habiskan ini dengan sebenarnya mengucapkan terima kasih sekali lagi. 21 orang Ahli Parlimen telah menanya 70 soalan dan semuanya, tidak ada satu orang pun yang tidak bersetuju. Semua, pembangkang, kerajaan bersetuju menyokong pindaan ini dan
saya mewakili para pekerja, terutamanya 1.5 juta orang pekerja yang akan mendapat penambahbaikan 20 peratus faedah ini mengucapkan penghargaan kepada Ahli-ahli Parlimen kita. Rata-rata Ahli Parlimen yang telah berucap, telah memuji PERKESO. Jadi, saya rasa kita boleh semua memberikan pengiktirafan kepada warga PERKESO atas kecekapan selama ini. [Tepuk] Mohon kita sama-sama terus mempromosikan pelbagai skim PERKESO yang ada. Nescaya PERKESO dan KESUMA akan memberikan kerjasama kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan perlindungan kepada rakyat di kawasan masing-masing. Kalau mengait biarlah galah, Kalau berkalung biarlah merjan, Biar berkubu sebelum alah, Biar berpayung sebelum hujan. Sekian, terima kasih. [Tepuk]
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah rang undang-undang dibacakan kali yang kedua sekarang. [Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) mempengerusikan Jawatankuasa] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [Fasal-fasal 1 hingga 4 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang-undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia (Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad) dan diluluskan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG SISTEM INSURANS PEKERJAAN (PINDAAN) 2024 Bacaan Kali Yang Kedua dan KetigaBill
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dibacakan kali yang kedua sekarang.
Silakan.
Tuan Yang di-Pertua, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 ataupun Akta 800 yang ditadbir urus oleh PERKESO merupakan satu undang-undang yang menyediakan faedah-faedah kepada pekerja yang hilang pekerjaan seperti berikut; (i) Elaun Mencari Pekerjaan; (ii) Elaun Bekerja Semula Awal; (iii) Elaun Pendapatan Berkurangan; (iv) Elaun Latihan; (v) Fi Latihan; dan (vi) Program Penempatan Pekerjaan Semula. Akta ini terpakai kepada pekerja berstatus warganegara dan pemastautin tetap. Akta ini merupakan program jaringan keselamatan sosial yang terdiri daripada dua komponen utama iaitu insurans pekerjaan dan perkhidmatan pekerjaan. Insurans pekerjaan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan menyediakan faedah-faedah berbentuk bantuan tunai sementara. Manakala perkhidmatan pekerjaan pula menyediakan bantuan carian pekerjaan, penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya, program latihan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, pada masa ini Akta 800 meliputi semua pekerja swasta tanpa mengira jumlah gaji bulanan dan tertakluk kepada pekerja yang mempunyai hubungan dengan izin, employer dan employee only. Walau bagaimanapun, siling caruman adalah tertakluk kepada siling gaji sehingga RM5,000 sebulan seperti dalam ketetapan Jadual Kedua Akta 800 ini. Bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 sebulan, pekerja tersebut akan mendapat perlindungan dan mencarum di bawah Akta 800 tetapi amaun caruman dan faedah akan dikira pada takat RM5,000 sahaja. Seperti cadangan pindaan Akta 4 yang telah dibentangkan tadi, peningkatan siling gaji untuk caruman dari RM5,000
kepada RM6,000 di bawah Akta 800 ini adalah selaras dengan pengumuman Belanjawan 2024. Sehubungan itu, satu pindaan ke atas Akta 800 perlu dilaksanakan. Tuan Yang di-Pertua, peningkatan siling gaji bulanan kepada RM6,000 ini akan mewujudkan caruman yang baharu bagi lingkungan gaji bulanan dari RM5,000 sehingga RM6,000. Peningkatan ini sudah tentu seperti Akta 4 tadi, menambah baik perlindungan keselamatan sosial PERKESO dengan meningkatkan faedah-faedah seperti elaun mencari pekerjaan, elaun bekerja awal dan lain-lain yang berkaitan. Untuk menjelaskan lagi perkara ini, saya berikan contoh. Pada masa ini, seorang pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 dan layak menerima elaun mencari pekerjaan selama enam bulan, pengiraan bayaran elaun mencari pekerjaan bagi pekerja tersebut adalah mengikut siling gaji sedia ada iaitu berjumlah dalam enam bulan itu, RM13,365. Melalui pindaan yang baharu kepada had siling RM6,000, pekerja yang sama akan menerima sejumlah RM16,065. Asalnya RM13,365, selepas pindaan, RM16,065. Dalam hal ini, ada peningkatan 20.2 peratus hasil daripada pindaan siling gaji baharu. Dalam proses menggubal pindaan ini, kementerian dan juga PERKESO juga telah melaksanakan sesi libat urus dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti wakil majikan dan wakil kesatuan sekerja, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Tuan Yang di-Pertua, cadangan pindaan ini melibatkan pindaan kepada subseksyen 16(2) Jadual Kedua dan Jadual Ketiga untuk pindaan peruntukan- peruntukan sedia ada Akta 800 yang dipinda melibatkan fasal-fasal berikut: (i) subseksyen 16(2) had siling gaji. Subseksyen 16(2) dipinda bagi menaikkan had maksimum dengan izin, insurability ataupun kebolehinsurans amaun gaji pekerja di bawah Akta 800 daripada RM5,000 kepada RM6,000; (ii) Jadual Kedua Perenggan Dua pula menyatakan kadar caruman bagi majikan dan pekerja yang dihitung berdasarkan gaji bulanan. Peningkatan siling gaji bulanan sehingga maksimum RM6,000 melibatkan pindaan kepada Jadual Kedua Perenggan Dua; (iii) Jadual Ketiga menyatakan gaji bulanan anggapan bersamaan dengan jumlah caruman majikan dan pekerjaan untuk maksud pembayaran elaun mencari pekerjaan, elaun bekerja semula awal dan elaun pendapatan berkurangan. Tuan Yang di-Pertua, peruntukan-peruntukan baharu melibatkan 11 butiran baharu dalam Jadual Kedua Perenggan Dua. Peruntukan baharu ini menunjukkan
caruman baharu bagi gaji bulanan melebihi RM5,100 sehingga gaji bulanan melebihi RM6,000. Tuan Yang di-Pertua, pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan merupakan satu elemen yang penting memastikan pasaran buruh Malaysia kekal dinamik, cekap dan responsif kepada perubahan persekitaran. Bagi golongan pekerja pula, Sistem Insurans Pekerjaan ini memberikan perlindungan dan jaminan pendapatan berterusan, bantuan berterusan untuk mencari dan mendapatkan semula pekerjaan. Bagi orang berinsurans yang telah hilang pekerjaan, Sistem Insurans Pekerjaan ini dapat mengurangkan kesusahan dan kemiskinan dengan izin, to ensure there is food on the table, untuk menyara diri dan keluarga sementara dalam tempoh peralihan pekerjaan. Mereka juga akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan semula dan sesuai khususnya melalui kemudahan peningkatan kemahiran dan latihan semula di bawah skim ini. Dengan jaminan pendapatan semasa mencari pekerjaan baharu, Skim Insurans Pekerjaan dapat mengurangkan tekanan dan masalah sosial serta mengelakkan masalah kewangan yang boleh menyebabkan masalah-masalah keluarga dan sosial yang lain. Kerajaan berharap agar Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 ini mendapat sokongan yang sama seperti Akta 4 tadi daripada semua pihak. Akhir sekali, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.
Ada sesiapa menyokong?
Yang Berhormat Dato’ Dr. Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dibacakan kali yang kedua sekarang dan dibuka untuk dibahaskan. Walau bagaimanapun, sebelum permulaan perbahasan, saya ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat kepada Peraturan 36(1) kerana selalunya banyak berlaku, kita langgar sahaja. Ia menyebut, seorang Ahli Dewan apabila membahaskan rang undang-undang yang meminda akta induk seperti mana rang undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan, hanya perkara-perkara yang berkaitan rang undang-undang itu sahaja yang dibenarkan bercakap dan tidak kepada perkara yang melibatkan akta induk melainkan untuk menegur berkaitan perjalanan peraturan.
Baik, dalam senarai yang telah saya terima, pembahas-pembahas diberi lapan minit. Walau bagaimanapun, ia akan berubah mengikut keperluan masa dan ketika itu. Senarai-senarai pembahas adalah seperti berikut – dimulakan dengan Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Pendang, Yang Berhormat Bakri, Yang Berhormat Padang Besar, Yang Berhormat Machang, Yang Berhormat Tenggara, Yang Berhormat Pokok Sena, Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Segamat, Yang Berhormat Padang Serai, Yang Berhormat Mas Gading, Yang Berhormat Masjid Tanah, Yang Berhormat Batu Pahat, Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu, Yang Berhormat Kepala Batas, Yang Berhormat Jerlun, Yang Berhormat Arau. Dengan ini saya mempersilakan untuk membuka tirai perbahasan Yang Berhormat Kepong. Jika sedemikian, nota ada pada saya hanya Yang Berhormat Bukit Bendera yang menarik diri. Dengan berikut, saya mempersilakan pembahas yang kedua, Yang Berhormat Pendang.
Bismillahi Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dato’ Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi saya peluang untuk saya membahaskan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 iaitu Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800] di Dewan yang mulia pada hari ini. Saya sambut baik dan usaha bagi memastikan akta ini kekal relevan agar dapat terus menjaga keselamatan sosial golongan pekerja dalam negara kita. Harapan saya, akta ini dipinda akan membawa lebih banyak manfaat kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial iaitu PERKESO. Pindaan ini secara dasarnya adalah untuk meningkatkan siling gaji bulanan bagi maksud caruman daripada RM5,000 kepada RM6,000, Akta Insurans Pekerjaan 2017 iaitu Akta 800. Saya hendak menyarankan di sini, saya melihat kepada pindaan ini, mereka yang bergaji tidak lebih daripada RM6,000 dibenarkan untuk mencarum dalam Skim Perlindungan Pekerjaan ini ataupun Sistem Insurans Pekerjaan. Jadi, unjuran yang akan dapat, berlakunya pertambahan kepada depositor untuk menjadi ahli yang mencarum kepada PERKESO. Dalam erti kata lain, PERKESO juga akan mendapat nilai tambahan, funds akan meningkat, pendapatan ataupun revenue kepada PERKESO. Tetapi bila kita tengok dalam cadangan seperti mana yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri tadi, mencarum akan berlaku peningkatan. Mereka yang bergaji tidak lebih daripada RM6,000, maka ahli yang mencarum akan bertambah.
Tetapi tuntutan pencarum apabila berlaku sesuatu musibah tidak meningkat, masih lagi kekal yang lama. Jadi, kena tengok jugalah supaya dalam sistem ini, ahli akan merasa puas hati dengan perubahan pindaan ini kepada bagi mendapat keselesaan mereka yang mencarum dalam PERKESO ini. Jadi saya nak cadangkan supaya pihak kementerian melihat balik tuntutan pencaruman apabila berlaku musibah ini pun juga dinaikkan. Jadi jangan ingat duit nak masuk saja. Keselesaan pekerja juga perlu kita lihat kerana sekarang ini peningkatan hidup yang berlaku dalam perbelanjaan harian dengan izin sangat drastik kepada semua golongan termasuklah golongan pekerja juga terdapat dalam inflasi ekonomi yang berlaku di Malaysia, di negara kita pada ketika ini. Jadi, menerusi Sistem Insurans Pekerjaan ini individu akan mendapat faedah daripada akta ini. Paling awal selepas tujuh hari daripada kehilangan pekerjaan dengan syarat segala dokumentasi telah lengkap. Insya-Allah, hari ini berhenti kerja, semua dokumen itu dia akan dapat dalam masa dua atau tiga hari. Dia bagi masa dalam tempoh within one week submission dengan izin kepada PERKESO, maka tuntutan itu akan dikreditkan masuk ke dalam akaun. Jadi, satu benda yang sangat cepat proses ini. Cuma kena lihat juga tuntutan- tuntutan yang berupa tuntutan palsu yang merugikan negara sekarang ini. Apatah lagi sistem-sistem yang dibekalkan oleh PERKESO ini menggunakan online system ataupun yang banyak kita tengok sistem-sistem yang boleh disalahgunakan oleh scammer yang sekarang ini bermacam-macam-macam even bank yang kita tengok amat patuh kepada security tetapi masih lagi berlaku penetration ataupun penembusan dalam sistem-sistem yang dibekalkan bagi memudahkan sama ada pekerja ataupun tuntutan-tuntutan yang sebagainya. Jadi, saya harap perkara ini juga, sistem ini juga perlu dikemas kini dari segi sekuriti walaupun PERKESO kata sekarang sudah lengkap tetapi masih ada lagi berlaku scammer, kecurian wang yang berlaku kepada pekerja-pekerja yang mendapat perlindungan insurans ini. Kita difahamkan bahawa telah tersedia elaun bekerja semula awal untuk menggalakkan mereka segera kembali bekerja. Mereka sedang mencari pekerjaan. PERKESO menyediakan elaun ketika mereka tidak ada kerja ini. Ini satu rangsangan kepada kehidupan pekerja-pekerja yang telah sama ada dibuang kerja atau diberhentikan kerja ataupun memang tidak boleh bekerja dengan syarikat-syarikat yang telah beliau bekerja dan kita minta juga Tuan Yang di-Pertua cross selling, training perlu digagaskan oleh PERKESO supaya mereka dulu dalam bidang kelulusan yang lain bekerja tetapi apabila diberhentikan kerja disebabkan oleh inflasi ataupun kemelesetan ekonomi ataupun apa-apa saja ataupun warning up of the
company dengan izin, mereka diberi kursus, mohon kerja di bidang yang bukan bidang mereka. Jadi yang ini kita minta PERKESO perlu juga melancarkan satu cross training, crossing training untuk mereka mendapat pekerjaan baru dan akhirnya mereka mendapat gaji dan boleh hidup bagi membantu ekonomi negara melalui cukai-cukai pendapatan yang mereka bayar. RM6,000 sudah kena bayar. Okey, oleh sebab itu saya harap PERKESO memastikan juga seseorang penerima faedah daripada akta ini meneruskan usaha untuk mencari pekerjaan bagi memastikan tempoh pengangguran itu tidak berlangsung dalam tempoh yang lama. Sebab itu bila kita bagi crossing training ini, mereka tidak lama sebagai penganggur dan akhirnya kerja kerajaan selain daripada PERKESO, beberapa kementerian akan terlibat untuk membawa masuk pelaburan, menyediakan peluang pekerjaan. Yang ini MITI, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia dan juga KDN yang menapis pelabur-pelabur masuk melalui Imigresen dan sebagainya perlu menitik beratkan bagaimana kita nak dengan izin reduce unemployed in market. This is very important for us to strengthen all this bureaucracy we are facing now. Thank you. Okey, sebab itu dengan izin saya minta sedikit maaf tadi menggunakan bahasa Inggeris. Saya ingin menyebut, salah satu usaha yang dilakukan oleh PERKESO dalam suasana ekonomi global ini yang masih lagi lembab pada ketika ini, apakah kementerian akan mempertimbangkan agar elaun pencarian pekerjaan ini dilanjutkan sehingga ke sembilan bulan atau satu tahun? Bukan senang nak cari kerja. Syarikat-syarikat yang ada di sini, GLC-GLC yang besar sudah keluar daripada Malaysia. Jadi, banyak lambakan pengangguran dalam pasaran kita. Jadi PERKESO kena pertimbangkan masa dia orang mencarum banyak, maknanya fund itu ada dan kita pulangkan balik kepada pekerja supaya mereka tidak menderita ketika mereka tidak ada kerja ini dan kita lanjutkan. Saya cadangkan supaya mereka boleh kalau tidak dapat kerja dalam masa satu tahun itu, kita bagi satu compensate atau satu subsidi. Saya ada sedikit lagi Tuan Yang di-Pertua sebab ini penting berkenaan membela pekerja-pekerja kita ini. Jadi saya juga pernah terlibat bagaimana kita fikir untuk nak menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita yang dalam pasaran ini, yang banyak menjadi penganggur. Sehingga kini, ramai rakyat yang berjaya dibantu dengan Program Penempatan Pekerjaan Semula ini. Sektor apakah yang paling tinggi untuk diisi oleh Program Penempatan Pekerjaan Semula sehingga kini? Ini perlu kita justify dengan penganggur yang ada dalam pasaran, kelulusannya, skill workers-nya ataupun bidang yang dimanfaatkan.
Jadi pelabur-pelabur yang kita nak bawa masuk pun kita akan tengok apa yang dia nak. Jadi, kita nak kena sesuaikan dengan sistem cross selling training ini dengan requirement by the GLC needs-- by the company needs termasuk syarikat- syarikat antarabangsa ini. Kadang kita bagi dia nak bidang lain, kita pi bagi pekerja lain. Jadi tak sesuai. Oleh sebab itulah kita perlu kepada mereka, skill workers ini ataupun crossing training yang perlu apabila market memohon kepada apa yang diperlukan dalam bidang skill ini. Oleh itu, bagaimanakah PERKESO menyelesaikan masalah ketidaksepadanan pekerjaan dengan latar belakang pendidikan dan pengalaman individu dalam program ini? Jadi, mismatch ini yang perlu dipertingkat, perlu diperhalusi oleh PERKESO. Saya ada yang terakhir ini, saya nak menggulung. Masih ada dalam nada yang sama, saya ingin mendapat jumlah bilangan permohonan SIP dan juga jumlah pemohon yang diluluskan. Saya juga ingin mengetahui bila ada pemohon yang memohon, bila dia tidak ada kerja, dia akan memohon SIP. Di situ juga merupakan data yang mana bila nak agih balik seperti mana subsidi diesel yang ditarik untuk penjimatan dan dikatakan untuk agih balik kepada rakyat. Dari sini, data-data ini sebab kita tengok PADU sudah ke laut, sistem PADU itu. Tidak boleh digunakan. Sepatutnya sistem PADU ini the best sebab dia dah ada semua kriteria tetapi tidak boleh digunakan? Kenapa? Ini satu persoalan yang kita bangkit. Tidak perlu lagi sistem yang lain. Kedua, sistem BUDI sudah tidak mengenang budi lagi dah sistem yang dilancarkan ini. Semua ke laut. Jadi saya berharap PERKESO based on the data yang ada ini termasuk data-data yang tidak ada kerja, yang bekerja, semua ini boleh digunakan. Bagaimana kita nak segmentasi, segmentize the level of group yang perlu kita fokus bersasaran. Itu yang saya kata diesel ini bukan saya tidak setuju tetapi bagaimana mekanisme kerajaan untuk menyasarkan golongan yang perlu. Ini menyeluruh kena daripada peringkat ...
Yang Berhormat gulung, dekat pukul satu dah.
Ya, baik terima kasih. Saya sedikit lagi. Saya juga ingin mengetahui apakah bilangan pekerjaan majikan yang sudah pun, berapakah bilangan majikan yang sudah pun terlibat dalam skim ini selepas empat tahun diperkenalkan. Kerjasama three party perlu digemblengkan dengan lebih giat lagi agar semua majikan terlibat untuk mencarum bagi pekerja mereka. Bukan untuk sesiapa tetapi bermanfaat kepada semua pekerja dalam negara ini. Saya percaya, ada keperluan untuk memastikan caruman ini wajib diperkenalkan oleh seluruh syarikat di Malaysia kepada pekerja-pekerja. Namun,
mengikut datanya hanya mungkin kita dapat mengandaikan bahawa hanya separuh sahaja syarikat-syarikat yang berdaftar ini yang menggerakkan usaha ini. Kena ada satu usaha promosi yang kuat kepada syarikat-syarikat supaya membantu dasar kerajaan untuk membantu unemployed in market dengan izin. Saya berharap akhir sekali, setiap lontaran isu dapat diberikan penjelasan sewajarnya kerana pada hari ini kita membincangkan soal yang cukup penting. Isu ini dekat dengan hati semua golongan pekerja dalam negara kita. Sistem ini perlu diangkat sebagai jaringan keselamatan sosial yang lebih efektif dan terangkum demi untuk menjagakan kebajikan semua golongan pekerja dalam negara kita ini. Sekian terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi masa dekat saya sedikit saja lebih tadi ini untuk saya membangkitkan perkara-perkara yang penting kepada pekerja-pekerja dalam negara kita ini. Jadi, saya ucap terima kasih kepada kementerian KESUMA kerana usaha ini juga dapat mengurangkan lagi bebanan- bebanan yang sedang kita tanggung kepada penganggur-penganggur kita dalam pasaran. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pendang. Masa tepat jam satu. Majlis akan berhenti rehat dan bersambung semula pada jam 2.30.
[Mesyuarat ditempohkan pada jam 1.01 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Baik, kita sambung RUU kita dengan menjemput YB Bakri, silakan. YB Bakri tidak ada? Okey, tidak ada, saya jemput Padang Besar. Lapan minit ya Padang Besar.
Okey ringkas. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih kepada Tan Sri Yang di-Pertua atas ruang dan peluang yang diberikan untuk saya berbahas pada hari ini untuk suatu akta untuk meminda Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024. Akta Sistem Insurans Pekerjaan merupakan satu undang-undang yang dirangka untuk memberikan perlindungan kepada pekerja yang terlibat dalam sektor formal terhadap kehilangan pekerjaan, upah dan manfaat lain akibat pengangguran sejak tahun 2017.
Tujuan utama RUU ini adalah bertujuan untuk memberikan perlindungan sosial kepada pekerja yang terkesan akibat pengangguran yang tidak diingini dengan menyediakan manfaat insurans yang diberikan secara sistematik. RUU ini meliputi perlindungan bagi pekerja yang terlibat dalam sektor formal yang kehilangan pekerjaan mereka dengan mendapat manfaat seperti faedah pengangguran. Manfaat ini diberikan dalam bentuk pembayaran tunai dalam jangka masa tertentu kepada pekerja yang telah hilang pekerjaan mereka secara sukarela. Latihan dan bantuan pekerjaan, juga menyediakan bantuan dalam bentuk latihan kemahiran atau bantuan pekerjaan lain untuk membantu pekerja-pekerja mencari pekerjaan semula. Satu usaha yang baik oleh Kerajaan Malaysia dan juga PERKESO. Di samping itu juga, majikan di Malaysia dikehendaki membayar sumbangan kepada PERKESO berdasarkan kadar yang ditetapkan untuk membiayai manfaat insurans pekerjaan kepada pekerja mereka. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda, “Janganlah kamu membebankan mereka yakni hamba dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka”. Secara tuntasnya, hadis ini memperlihatkan supaya majikan perlulah menjadi pelindung kepada pekerja. Masih ada segelintir majikan di luar sana yang culas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada pekerja. Melalui pindaan gaji diinsuranskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) daripada RM5,000 kepada RM6,000 ini merupakan satu tanda aras yang baik. Dalam keadaan ekonomi yang mencengkam dan tidak menentu, sangat baik perkara ini dipertimbangkan. RUU ini dicadangkan untuk pindaan, seharusnya mampu memperbaiki dan menyesuaikan undang-undang dengan perubahan sosioekonomi, keperluan pekerja dan struktur pasaran kerja. Bagi perluasan cakupan perlindungan, Padang Besar ingin mencadangkan untuk RUU ini diperluaskan skop perlindungan kepada kategori pekerja yang lebih luas termasuk pekerja sementara, pekerja kontrak atau bekerja sendiri yang sebelum ini tidak dilindungi oleh undang-undang. Fleksibiliti dan kecekapan. Pindaan RUU ini sangat penting sekiranya mampu untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan dan penyampaian manfaat serta memberikan fleksibiliti yang besar kepada pekerja dalam menggunakan manfaat yang disediakan ini merujuk kepada tadbir urus PERKESO. Seterusnya tentang keluasan manfaat. Sejauh manakah penekanan diberikan terhadap aspek program peningkatan kemahiran upskilling dan reskilling khususnya untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja gig serta pekerja sektor yang tidak formal, yang ingin beralih kepada sektor formal. Pada masa sama, memperluaskan peluang kepada laluan pembelajaran sepanjang dalam kemahiran
micro-credentials yang ingin dipelajari, selain dalam Program Dana Padanan Caruman Ekonomi Gig Platform. Seterusnya berkenaan dengan pematuhan dan penguasaan. Pindaan RUU ini seharusnya meningkatkan pematuhan majikan...
Padang Besar.
Terhadap... sekejap ya. Pindaan RUU ini seharusnya meningkat pematuhan majikan terhadap kewajipan sumbangan serta memperkuatkan proses penguasaan undang-undang yang lebih sistematik bagi pematuhan yang lebih baik. Silakan Kuala Krau.
Terima kasih Padang Besar. Saya cuma hendak tanya, perlu kah untuk SIP ataupun untuk meluaskan coverage yang dilindungi, termasuk kepada anak-anak sekiranya berlaku sebarang kemungkinan dalam diri pencarum, terima kasih.
Silakan.
Terima kasih kepada Kuala Krau. Saya setuju, cuma itu akan melibatkan pindaan rang undang-undang lain berkenaan dengan cakupan tadi untuk proses dia. Saya setuju juga kalau kata PERKESO dapat memperbanyakkan lagi program-program CSR sebagaimana contoh pekerja yang terkesan akibat kemalangan atau dibuang kerja untuk macam program back to school untuk anak-anak pekerja yang bermasalah tadilah. Akhir kata, mungkin saya pendekkan sedikit, saya setuju jugalah dengan Yang Berhormat Kuala Krau kata tadi dan minta masukkan dalam ucapan saya. Akhir kata, pindaan RUU ini saya pasti telah melibatkan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk majikan, Kesatuan Sekerja dan agensi kerajaan. Oleh itu, perubahan yang dicadangkan seharusnya mampu dilaksanakan segera dan mampan untuk jangka masa panjang terhadap sistem keselamatan sosial dan ekonomi negara secara keseluruhan. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Saya jemput Yang Berhormat Machang. Machang tidak ada. Tenggara? Silakan lapan minit.
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih kepada YB Tan Sri Speaker kerana bagi ruang kepada Tenggara untuk membahaslah berkaitan dengan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 ini. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pindaan Sistem Insurans Pekerjaan ini, Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 ini bolehlah dikatakan secara keseluruhannya
dilakukan pada masa yang tepat dan pada keadaan yang tepat dan semestinyalah perlu mendapat sokongan semua pihak, pemegang-pemegang taruh dan NGO dan juga NGI supaya ia memberi jaminan terhadap para pekerja kita. Sebagaimana diperkenalkan sejak 2018, satu jejaring keselamatan sosial yang dilaksanakan ini amat membantulah golongan pekerja yang hilang punca pendapatan. Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan peningkatan siling gaji daripada RM5,000 kepada RM6,000, Tenggara rasakan amat bersesuaian kerana ia akan dapat menambah baik perlindungan keselamatan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Peningkatan siling ini boleh juga membantu meningkatkan jumlah golongan sasar yang layak menerima faedah-faedah seperti elaun mencari pekerjaan, elaun bekerja semula, awalan dan lain-lain yang berkaitan seiring dengan keperluan semasa hari ini dan juga membantu seseorang individu jika mereka kehilangan pekerjaan. Skim ini juga dapat mengurangkan tekanan yakni masalah kewangan yang boleh mengakibatkan konflik keluarga dan menjamin kesejahteraan sosial ke satu tahap yang lebih baik. Jadi, soalan Tenggara adalah berapakah sebenarnya jumlah permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikemukakan kepada PERKESO setakat ini serta jumlah individu yang berjaya dibantu dalam tempoh lima tahun semenjak ia diperkenalkan pada 2018. Caruman dalam SIP juga dilihat tidaklah membebankan sangat pada majikan iaitu serendah 0.2 peratus sahaja dan kos sara hidup yang kian meningkat tahun ke tahun. Langkah yang diambil ini adalah sangat- menaikkan siling ini adalah amat bertepatan dan ia juga sebenarnya kita perlu melihat kepada kesan-kesan pekerjaan ini berkaitan dengan sistem keselamatan sosial ini, berkaitan dengan insurans ini juga melibatkan golongan M40. Jadi, Tenggara ingin bertanya, adakah kadar caruman ini perlu dipertingkatkan lagi ataupun mereka yang mempunyai insurans menerima bantuan kewangan lebih tinggi berbanding yang sedia ada. Tuan Yang di-Pertua, satu hal lagi yang berkaitan dengan pindaan ini adalah berkaitan dengan pematuhan akta. Kita sedia maklum, Ops Kesan ke-14 pada 2023 telah dilaksanakan dan tahap ketidakpatuhan majikan menjarum di bawah Akta 800 ini dikesan pelaksanaan bulan pemutihan adalah sebanyak 21.73 peratus berbanding 18.95 peratus pada tahun 2022. Kadar pematuhan kepatuhan dalam kalangan majikan ini masih lagi di peringkat yang rendah. Jadi, Tenggara berpandangan, kerajaan juga dengan pindaan ini perlu juga memberi kesedaran kepada para majikan supaya kerajaan tegas dalam pelaksanaan ini supaya matlamat yang hendak dicapai melalui pindaan ini akan benar-benar dapat
dirasai, terutamanya kepada golongan pekerja dan rakyatlah secara menyeluruh. Sekali gus ia menolak satu pandangan bahawa ia berkaitan juga dengan hak asasi pekerjalah untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial. Setelah dua kali kenaikan siling dilakukan, kali pertama pada Julai 2022 dan sekali lagi dibawa ke dalam Dewan pada kali ini. Jadi, Tenggara ingin bertanya kadar pematuhan terhadap akta ini masih rendah. Jadi, apakah sebenarnya yang kerajaan boleh usahakan ataupun beritahu kepada masyarakat tentang apa yang hendak dibuat supaya lebih ramai lagi majikan mematuhi rang undang-undang ataupun satu akta yang hendak dilaksanakan. Tuan Yang di-Pertua, kita pun tahu semasa COVID-19 dan kita tidaklah mahu ia berulang tetapi lebih 100,000 orang pekerja diberhentikan pada ketika itu. Apabila COVID itu berlaku, kita tidak mahu mereka terlepas daripada menerima faedahlah daripada masalah-masalah yang berlaku, contohnya seperti COVID-19 dan akibat daripada sikap sambil lewa pihak majikan. Pihak majikan ini, dia rasa dia dah buatlah sesuatu, kadang-kadang cuba nak mengelat juga tetapi saya kira daripada pelaksanaan ini nanti yang paling mustahak juga adalah tentang kita memastikan pelaksanaan ini dilaksanakan dengan baik. Kerajaan perlu memainkan peranan kenakan denda. Saya rasa yang lebih tinggi dan keras supaya majikan yang gagal boleh mematuhi akta ini. Difahamkan bahawa pihak PERKESO memberikan waktu kepada majikan sehingga 31 Mei 2024 bagi mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela. Sekiranya gagal, tindakan kompaun sehingga RM5,000 dikenakan namun ia masih lagi rendah saya difahamkan. Tekanan terhadap pekerjanya kalau berhenti ini, kita bandingkan memang lebih tinggilah. Jadi saya nak- Tenggara ingin bertanya, berapakah jumlah majikan yang mencarum sehingga 31 Mei lalu itu sehingga tarikh yang telah ditetapkan itu secara sukarela. Apakah faktor yang mengakibatkan para majikan gagal untuk mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerja ini? Tuan Yang di-Pertua, yang di atas tadi adalah berkaitan dengan tempoh penerimaan faedah, kajian dari Perancis berlanjutan tempoh penerimaan faedah pengangguran dari tujuh bulan ke 15 bulan telah memperlahankan proses peralihan pengangguran sebanyak 28 peratus. Akibatnya pengangguran meningkat sebanyak 2.5 peratus sebulan. Manakala kajian dari Portugal membuktikan perlanjutan tempoh yang lebih pendek, enam bulan bawa kepada tempoh pengangguran lebih singkat iaitu 1.5 peratus. Justeru, pelaksanaan SIP di Malaysia berlandaskan kepada matlamat penambahbaikan tahap kebolehpasaran. Menerusi latihan semula TVET juga
memberi gambaran bahawa mereka dilindungi kerajaan secara berterusan bagi mengelakkan mereka daripada terus menganggur. Selain elaun, bagaimana kementerian melalui PERKESO boleh bantu penerima faedah ini mencari pekerjaan agar tempoh pengangguran itu tidak terlalu lama kerana tidak mahu mereka hanya bergantung kepada elaun tapi tanpa memulakan usaha mencari pekerjaan. Tuan Yang di-Pertua, salah satu usaha PERKESO menyediakan Program Penempatan Pekerja Semula. Sehingga kini Tenggara ingin bertanya, berapa ramai rakyat yang telah berjaya dibantu di bawah Program Penempatan Pekerjaan Semula ini? Sektor apakah yang paling tinggi dan bagaimanakah PERKESO menyelesaikan masalah ketidaksepadanan pekerjaan dengan latar belakang pendidikan dan pengalaman individu dalam program yang dilaksanakan ini. Tenggara juga ingin mengambil perhatian Dewan sedikit, berkaitan dengan gig. Tenggara ingin mencadangkan kerajaan meneliti usaha bagi menambah baik serta bagi memberi peluang perlindungan sosial terhadap pekerja-pekerja sektor ekonomi gig. Kajian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melibatkan 6,657 pekerja p-hailing merupakan salah satu pekerjaan popular dalam ekonomi gig kini menunjukkan 97.71 peratus merupakan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun. Kajian itu turut menunjukkan 63.39 peratus daripada jumlah pekerjaan p- hailing tidak mempunyai apa-apa simpanan. 73.98 peratus pekerja p-hailing menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan utama. Jadi ketika tiada sebarang skim, membantu para pekerja dalam sektor ekonomi gig sekiranya mereka berdepan dengan sebarang masalah mahupun hilang punca pendapatan akibat dikenakan tindakan secara tidak adil. Jadi, pindaan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan ini perlulah juga melihat kepada keperluan membantu keselamatan sosial bagi pemain-pemain ataupun rakyat Malaysia yang bekerja di dalam ekonomi gig. Itu sahaja daripada Tenggara Tan Sri Speaker. Sekian, terima kasih.
Baik, saya jemput Kuala Kedah.
Tan Sri Yang di-Pertua. Tan Sri Yang di-Pertua, saya tadi giliran saya sebelum...
Sekarang tulis note kata saya masuk lewat...
Okey.
...Saya akan re balik, reschedule nanti.
Terima kasih Tan Sri. Terima kasih.
Terima kasih. Sila Kuala Kedah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk berbahas dalam RUU pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 pada kali ini. Saya ingin memfokuskan perbahasan saya kepada beberapa persoalan berikut. Kita sedia maklum bahawa Akta 800 ini memberikan sistem sokongan dan perlindungan yang menyeluruh khususnya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dan berusaha untuk mencari pekerjaan baharu. Begitu juga dalam konteks fi latihan bagi meningkatkan kemahiran yang disediakan sepertimana terkandung dalam peruntukan di bawah akta ini. Tan Sri Yang di-Pertua, pertama saya kira kita sedia maklum bahawa akta ini digubal pada tahun 2017 dan mengalami pindaan terhadap seksyen 16(2) seperti Jadual Kedua Perenggan Dua dan Jadual Ketiga Perenggan Lapan pada tahun 2022 dan selepas dua tahun sekali lagi pindaan dibuat pada seksyen dan jadual yang sama dengan peningkatan kepada nilai kebolehinsurans amaun gaji pekerja kepada RM6,000. Persoalannya, apakah kementerian mempunyai sokongan terhadap kajian yang menyeluruh terhadap peningkatan had siling gaji ini disebabkan peningkatan had siling ini berlaku dalam tempoh yang dianggap singkat. Perkara ini saya lihat sebagai sokongan terhadap keperluan pindaan yang dikemukakan pada hari ini dan beberapa tahun kemudiannya kita mungkin akan meminda seksyen dan jadual yang sama untuk meningkatkan had siling gaji. Tan Sri Yang di-Pertua, seperti yang difahami bahawa negara masih dalam fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik. Justeru, persoalannya apakah rasional bagi pindaan ini? Mohon jawapan daripada kementerian. Kedua, apakah kementerian juga berpandangan keperluan untuk meminda kadar elaun mencari pekerjaan bagi bulan keenam ke atas sepertimana yang terdapat dalam Jadual Ketiga Perenggan Satu Akta 800 ini. Persoalannya apakah pelan tindakan semasa daripada pihak PERKESO kepada mereka yang masih dalam proses mendapatkan pekerjaan melebihi tempoh enam bulan. Saya juga ingin mengetahui apakah kadar peratusan daripada nilai gaji anggapan ini juga akan melalui proses penilaian semula supaya diselaras dengan peningkatan kos sara hidup dan keperluan semasa yang tinggi pada ketika ini.
Saya juga ingin mengetahui, berapa peratus daripada penerima SIP ini mendapatkan semula pekerjaan selepas daripada tempoh enam bulan?
Ketiganya, saya juga ingin mendapatkan jawapan daripada kementerian berkenaan statistik mereka yang memperolehi elaun fi latihan upskilling dan reskilling setakat hari ini. Apakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan amaun fi latihan dalam Jadual Ketiga ini? Sekian, terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Baik. Saya jemput Shah Alam.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Malaysia Madani. Terima kasih kepada Tan Sri Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk membahaskan pindaan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024, Akta 800. Kita semua tahu bahawa akta ini telah diperkenalkan pada tahun 2017 dan kemudian ianya dilaksanakan pada 2018 dan merupakan suatu akta yang agak baharu diperkenalkan dan diketahui oleh golongan pekerja dalam negara kita ini. Namun, ia adalah merupakan satu akta yang sangat penting. Tidak kurang pentingnya juga dengan Akta Keselamatan Sosial yang telah pun diperkenalkan berpuluh tahun yang lalu. Jadi, sejajar dengan hasrat kerajaan yang prihatin tentang nasib pekerja dan juga golongan yang mencari nafkah untuk keluarga masing-masing, sudah tentulah akta ini sentiasa melalui perubahan dan rang undang-undang yang baharu diperkenalkan dan dipinda untuk memastikan bahawa golongan pekerja ini mendapat pembelaan, kerana kita tahu bahawa malang tidak berbau― sebagaimana juga kemalangan, kecelakaan yang boleh berlaku tetapi dilindungi oleh Akta Keselamatan Sosial― maka kehilangan pekerjaan juga adalah merupakan suatu perkara yang kita tidak jangka ataupun tidak ketahui. Maka, akta ini yang melalui pindaan sangat kita alu-alukan kerana kita tahu bahawa kos semakin meningkat dan ianya juga sebenarnya sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan gaji progresif, meningkatkan pendapatan negara melalui pendapatan yang bernilai tinggi dan seumpamanya. Oleh itu, pada saya, apa yang ingin dilakukan oleh kerajaan hari ini untuk meminda akta ini yang melibatkan kepada peningkatan had siling gaji daripada RM5,000 kepada RM6,000 itu adalah merupakan satu perkara yang sememangnya kita alu-alukan. Namun, Tan Sri Yang di-Pertua, ada beberapa perkara yang saya rasa perlu kita sama-sama nilai dan juga perhatikan supaya apa yang ingin dilakukan ini
mencakupi dan juga menyeluruh yang membolehkan pekerja-pekerja mendapat pembelaan yang sebenarnya. Perkara yang pertama, sebagaimana juga rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain, saya juga ingin bertanya, setakat manakah kerajaan ingin melebarkan manfaat daripada akta ini yang mencakupi golongan pekerja gig economy? Kerana kita tahu sebahagian daripada pekerja gig economy ini, mereka memang menjadikan pekerjaan itu adalah sebagai pekerjaan mutlak mereka, bukannya pekerjaan sambilan. Jadi, kalau kehilangan daripada pekerjaan itu, maka hilanglah juga pekerjaan dan pendapatan mereka untuk keluarga. Jadi, untuk menjaga kebajikan mereka, saya juga mencadangkan supaya kerajaan, kementerian memastikan bahawa pekerja dalam sektor gig economy tidak tertinggal daripada mendapat manfaat dan memastikan bahawa majikan-majikan yang menggaji mereka dalam sektor gig economy ini juga mesti memastikan bahawa caruman dilakukan untuk Sistem Insurans Pekerjaan ini. Keduanya, sejak pelaksanaan SIP ini juga bermula tahun 2018, berapakah kes yang melibatkan tuntutan SIP ini? Dari segi peratusannya kita sudah tahu tetapi kita nakkan bahawa― peratusan dari segi kepatuhan mencarum ini kita sudah tahu datanya, tetapi kita nak tahu mereka yang telah mencarum ini apabila hilang pekerjaan, berapakah tuntutan yang telah pun dilakukan kepada SIP ini dan berapakah tuntutan yang berjaya dilakukan? Adakah peningkatan terhadap tuntutan ini dilakukan ketika musim COVID dulu? Pada masa ketika PKP dahulu. Kerana pada masa itu memang ramai yang kehilangan pekerjaan dan sukar untuk mendapat pekerjaan semula. Ketiganya ialah berkenaan dengan pengetahuan ataupun kesedaran awam terhadap kewujudan SIP ini. Kerana ianya baharu, tidak seperti Akta Perlindungan Keselamatan Sosial, Sistem Insurans Pekerjaan ini baharu, maka kebanyakan daripada pekerja yang menerima perjawatan dan sebagainya, mereka sering melihat kepada adakah majikan-majikan memberikan manfaat insurans keselamatan. Itu sahaja yang mereka lihat sebenarnya. Termasuk saya juga. Bila kita terima tawaran pekerjaan, contohnya, kita akan pastikan ada manfaat medical, ada manfaat insurans perlindungan. Tapi, jarang yang melihat kepada Sistem Insurans Pekerjaan ini kerana tidak ada kesedaran itu. Jadi, apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan, kementerian untuk meningkatkan advocacy dan juga pengetahuan serta kesedaran awam terhadap kewujudan caruman insurans pekerjaan ini? Sekurang-kurangnya, bila mereka menerima surat tawaran pekerjaan itu, dia akan semak ada medical, ada cuti, ada perlindungan sosial dan ada juga insurans perlindungan pekerjaan. Kerana ini hak mereka. Dan diwajibkan oleh kerajaan kepada semua majikan-majikan.
Seterusnya ialah― ini kisah benar sikit, Tan Sri. Tahun 2018, ianya diperkenalkan dan tahun 2018 adalah merupakan kerajaan baharu Pakatan Harapan 1.0. Tahun 2020, kena tebuk atap. Ini kisah benar. Pada masa itu, ramai yang kehilangan pekerjaan termasuk saya juga. Termasuk ramai yang daripada Dewan ini kehilangan pekerjaan. Tetapi, pada masa itu, saya ingat saya tidak ada pun sesiapa yang memberitahu kepada kita bahawa kita sebenarnya dilindungi oleh akta ini. Jadi, pertamanya, kita nak tahu, pada masa itu, adakah kerajaan sebenarnya melindungi lantikan-lantikan yang terlibat dalam berkhidmat dengan kerajaan sebelum ini? Sebahagiannya terpaksa meninggalkan pekerjaan di sektor swasta, berkhidmat dengan kerajaan kerana nak membantu negara. Tetapi apabila kehilangan pekerjaan akibat ditebuk atap pada tahun 2020, maka pada ketika itu masing-masing blur, tidak tahu apa yang nak dilakukan. Berlaku pula pada masa PKP. Jadi, persoalannya, bolehkah kita ini nak rujuk balik kepada KESUMA ini nak tuntut balik? Sebab, dulu ini tak dapat, tak ada... [Ketawa] Tak dapat perlindungan pekerjaan itu. Enam bulan, Tan Sri. Banyak juga itu. Jadi, kita nak tanyalah pada KESUMA, bolehkah nak rujuk balik itu? Ataupun kalau tidak ada peruntukan itu kepada penjawat-penjawat kontrak, perkhidmatan servis yang berkhidmat dengan kerajaan pada masa itu, di manakah kesilapannya? Adakah kerajaan sendiri tidak mencarum untuk rakan-rakan kita? Kalau tidak ada, kena pastikan bahawa― sekarang ini ramai lantikan-lantikan yang berkhidmat dengan kerajaan, dengan kementerian, dengan pusat khidmat. Kita kena pastikan mereka mesti mencarum dalam Sistem Insurans Pekerjaan yang diwajibkan ini, Tan Sri. Akhirnya, saya dengan ini menyokong cadangan untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan ini melalui Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024. Terima kasih Tan Sri.
Baik, terima kasih. Seterusnya, saya menjemput Tumpat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri Speaker. Saya merujuk kepada nama akta ini iaitu suatu akta untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017. Dan sebagaimana yang disebutkan oleh YB Menteri semalam tentang inisiatif oleh pihak PERKESO dan KESUMA untuk, insya- Allah, mengkaji supaya ada sistem yang Islam, saya rasa sekarang adalah masanya, bukan setakat dibentangkan selepas ini, iaitu yang sepatutnya ada juga ialah suatu rang undang-undang untuk akta sistem takaful pekerjaan, insya-Allah. Itu perlukan
kerana kita lihat dalam semua sistem perbankan daripada asalnya dia ada perbankan Islam, akhirnya umat Islam ada pilihan untuk lalu kepada perbankan Islam sama seperti KWSP.
Saya kira sampai masa sekarang ini untuk perkataan dalam ini pun kita ada bukan setakat keselamatan tetapi sistem— Akta Sistem Takaful Pekerjaan dan ini juga kita boleh galakkan kepada operator-operator takaful untuk mula membuka skim-skim seperti ini supaya dapat diambil oleh orang-orang yang ingin mengambil skim ini. Pihak kerajaan pun harus membekalkan suatu opsyen yang seimbang kepada orang Islam supaya kita boleh buat benda yang patuh syariah. Itu yang pertama. Kedua, saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana buat suatu pindaan untuk menaikkan daripada lima ribu ke enam ribu. Ini benda besar bagi orang yang mengalami dan saya bersetuju dengan satu cadangan daripada seorang MP yang menyebut bahawa sepatutnya sebagaimana KWSP tidak perlu rujuk kepada Parlimen. Cukup dengan kuasa Menteri untuk menaikkan daripada satu ribu kepada dua ribu, lima ribu kepada enam ribu, tujuh ribu. Saya kira sampai masa juga untuk PERKESO, juga untuk KESUMA juga mempunyai kuasa yang sama supaya tidaklah kita terpaksa bincang setiap tahun kena pinda hanya untuk meminda perkataan daripada lima kepada enam, enam kepada tujuh sebab kenaikan harga barang dan inflasi akan berlaku setiap tahun. Jadi, bila mana disebutkan kenaikan ini ada impaknya. Seseorang yang bekerja diberhentikan kerja dapat tawaran, dapat pampasan daripada pihak PERKESO. Isunya ialah ini berkaitan juga bukan setakat dengan ini tetapi yang semalam, akta semalam iaitu bila mana seseorang yang mendapat faedah daripada PERKESO lima ribu, enam ribu, dapat tiga belas ribu, mereka ini sebenarnya tidak boleh mengemukakan pendapatan ini kepada mana-mana bank untuk mereka ini mendapatkan pembiayaan. Saya ingin menyarankan...
YB Tumpat?
Ya?
Boleh berhenti sebentar? Kita ada tetamu. Saya nak umumkan tetamu sebentar ya. Karang saya bagi sambung balik ya. Ahli Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan bahawa hadir bersama-sama kita di Dewan yang mulia ini ialah delegasi dari The National Assembly and the House of Representatives of Thailand yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama Wan Muhamad Noor Matha, President of National Assembly and Speaker of the House of Representatives of Thailand.
Kepada Tuan Yang Terutama Wan Muhamad Noor Matha dan delegasi, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran Tuan dan delegasi ke Dewan yang mulia ini. Semoga dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Wan Muhamad Noor Matha dan delegasinya akan mengukuhkan lagi tali persahabatan dan hubungan Malaysia dan Thailand. Honorary Members, it is great pleasure I would like to inform that together with us in this August House is the delegation from The National Assembly and the House of Representatives of Thailand, headed by His Excellency Wan Muhamad Noor Matha, President of National Assembly and Speaker of the House of Representatives of Thailand. To His Excellency Wan Muhamad Noor Matha and the delegation, we welcome your visit to this House. We hope that the visit of— your visit by the Excellency Wan Muhamad Noor Matha and the delegation will further strengthen ties and relations between Malaysia and Thailand. Welcome Sir. Thank you. Tumpat, sila sambung.
Okey, selamat datang kepada delegasi daripada Thailand. Alhamdulillah. Okey, saya sambung balik. Dalam hal ini, saya minta kepada pihak PERKESO kalau boleh tolong jadikan— kerana bagi orang yang kehilangan pendapatan atau orang yang tak mampu bekerja setelah mereka mengalami kecacatan kekal, faedah daripada PERKESO yang tinggi, enam ribu, lima ribu ini hanya akan berfaedah kalau mereka juga boleh gunakan untuk pembiayaan kenderaan yang digunakan oleh orang-orang yang telah pun cacat ini. Orang-orang yang memerlukan kenderaan. Dia sekarang ini tidak dikira sebagai pendapatan sebab ini adalah satu faedah. Jadi, sepatutnya dibuat satu perbincangan dalam PERKESO, dalam KESUMA supaya mereka boleh diberikan pembiayaan sebagaimana kalau orang kerajaan boleh ada LPPSA, sepatutnya juga orang yang menerima faedah daripada PERKESO juga dapat benda yang sama untuk pembiayaan sekurang-kurangnya yang ada had supaya kita boleh membantu orang-orang yang telah mengalami kesusahan ini. Ketiga, berkaitan dengan pekerja wanita. Saya kira dalam kes Career Comeback Programme yang dibuat oleh TalentCorp. Kejayaan pihak kerajaan untuk memanggil semula wanita yang telah pun bekerja tetapi berhenti untuk kembali semula kepada pihak swasta dan bekerja adalah sangat rendah. Ya, data yang kita dapat pada tahun 2018 hanya 200 wanita sahaja kembali bekerja, di mana bilangan majikan yang mana bekerja ini adalah 81 syarikat sahaja.
Jadi, dalam hal ini saya mohon untuk pihak PERKESO ataupun KESUMA ini membuat satu perlindungan khas untuk sistem insurans ataupun takaful pekerjaan ini untuk wanita dan juga pekerja OKU dan warga emas. Ini adalah tiga golongan yang sebenarnya besar dalam negara. OKU - 15 percent; wanita - 50 peratus; warga emas pun akan lagi pada masa akan datang lagi besar. Jadi, satu pengenalan khas kepada perlindungan untuk mereka ini untuk kembali bekerja dilindungi harus dibuat satu segmen yang khas sebagaimana dilihat di negara-negara yang lain yang telah pun membuat percubaan ataupun inisiatif seperti ini. Saya juga ingin bertanya pihak kerajaan, apakah boleh kita juga iktiraf? Sekarang ini, di bawah PERKESO ada ELS untuk elaun bagi orang yang menjaga orang sakit tetapi ia tidak dikira sebagai suatu sumber pendapatan. Sedangkan untuk seorang ahli keluarga yang graduate atau pun tidak graduate nak jaga seorang ahli keluarga, mendapat pendapatan RM500 sebulan oleh pihak PERKESO dan keluarga mereka tidak berhak untuk mencarum mereka sebagai pekerja kerana dikira sebagai domestik adalah suatu benda yang saya kira sudah sampai masa kita nak kena ubah. Seorang caretaker yang swasta, kalau mereka jaga orang sakit, mereka dibayar RM80 sehari. Kalau sehari semalam, RM160 tetapi kerana mereka ini famili, hanya layak dapat RM500 sahaja. Saya kira pihak kerajaan juga perlu pinda akta ini untuk masukkan orang-orang yang menjadi caretaker family sama ada adik-beradik, suami isteri ataupun anak-anak yang menjaga keluarga mereka yang— pekerja yang sakit ini diiktiraf dan mereka juga boleh bayar PERKESO, mereka juga boleh bayar sistem insurans ini supaya boleh cover. Ini kerana ia juga merupakan suatu benda yang sangat penting untuk pembangunan negara dan juga kesihatan keluarga. Saya juga ingin tahu, berapakah bilangan pegawai JTK dan PERKESO yang telah pun ada dalam negara yang akan ditambah supaya memenuhi semua perkara- perkara yang telah kita sebutkan ini? Sekarang ini kita perlu ramai pegawai untuk bantu. Jadi, JTK dan pegawai PERKESO perlu ditambah bilangan mereka supaya boleh melihat sampai ke bawah, berapa orang yang tak faham tentang isu yang berkenaan dengan PERKESO ini. Saya sebagai seorang peguam sebelum ini, saya lihat banyak kes-kes bila berlaku kemalangan dan bila kita minta details dokumentasi mereka, kebanyakan yang bekerja sebagai buruh. Mereka tidak akan minta pun hak mereka dengan PERKESO.
Yang Berhormat Tumpat, Sik sikit, mohon penjelasan sedikit berkaitan- kita melihat faedah PERKESO dan insurans pekerja kita ini, khususnya kepada skim pekerja sendiri yang telah dilaksanakan oleh PERKESO bagi kita membantu, khususnya petani-petani dan juga pekebun-pekebun
kecil kita yang mereka ini tidak ada satu pun skim perlindungan melainkan sekarang yang sedang dibuat oleh PERKESO. Adakah setuju bahawa pihak kementerian melaksanakan program ini dengan lebih tersusun iaitu jaringan ahli-ahli ataupun pekebun-pekebun kecil kita yang berdaftar dengan RISDA contohnya, dengan mana-mana agensi yang kita dapat lindungi mereka bersama. Terima kasih.
Sangat bersetuju dan saya mohon untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada hujahan saya kerana saya kira pada hari ini sebagaimana MySejahtera, BUDI, PADU, BR1M, banyak benda yang kerajaan buat, orang ramai boleh tahu semua dan boleh respons. Tetapi kenapa untuk isu SPS, mereka tidak respons? Sedangkan kalau mereka tahu tentang manfaat ini, mereka boleh respons dengan cara terbaik dan kita dapat membantu mereka apabila mereka ini susah. Jadi, saya kira perkara ini perlu diberikan satu taklimat yang betul, promosi yang lebih baik dan notifikasi kepada pekerja mesti dibuat serta-merta sekiranya majikan mereka gagal untuk mencarum. Kalau mereka mencarum sendiri SPS, juga notifikasi dalam bentuk SMS perlu disampaikan kepada mereka sebab mereka berisiko untuk berhadapan dengan bermacam-macam risiko dalam kerja mereka. Saya juga ingin bertanya kepada pihak kerajaan, berapa kali kah ataupun apakah pendidikan mandatori yang diberikan kepada pekerja sama ada melalui contracts ataupun profiling supaya semua pekerja aware bahawa mereka ini sebenarnya dilindungi di bawah sistem ini dan juga saya juga ingin bertanya kepada pihak kerajaan, apakah perlindungan kepada pegawai kerajaan yang dipecat daripada kerajaan sebagaimana saya sebut tadi. Ada yang kontrak, kalau kontrak mereka ada bayar PERKESO tapi kalau mereka yang bukan kontrak, mereka yang tetap, berpencen. Mereka mungkin akan berhadapan dengan tindakan disiplin. Jadi, kalau mereka seperti ini, apakah perlindungan yang diberikan kepada pegawai-pegawai terbabit kerana dalam kehidupan ini kita percaya akan ada naik turun seseorang manusia tersebut. Jadi, saya juga ingin— yang terakhir saya ingin bertanya kepada kerajaan, apakah perlindungan insurans yang diberikan kepada pelajar-pelajar internship dan praktikal yang sekarang ini berada di seluruh negara? Kerana ada negara-negara yang mewajibkan universiti masing-masing supaya memberikan perlindungan insurans kepada pelajar mereka yang sedang praktikal. Jadi, kalau tak— sebab sekarang ini majikan tidak bayar sebab mereka bukan pekerja. Tapi kalau universiti tak bayar juga, akan memberi masalah sekiranya mereka ini menghadapi kemalangan ataupun kecederaan semasa mereka ini bertugas.
Jadi, saya cadangkan kalau benda ini belum dibuat, untuk pihak kerajaan cadangan tersebut. Terakhir, adakah kita mempunyai suatu pusat sepadu untuk kita mengesan dan mengesahkan data pembayaran kemasukan gaji dan sebagainya sebagaimana kalau pihak kerajaan ada HIRMIS. Jadi, di pihak swasta, di manakah kita dapat sahkan maklumat ini supaya ada pusat sepadu data pekerja swasta yang mana mereka ini akan dibantu oleh pihak human resource di syarikat masing-masing supaya mereka akan mengetahui semua hak dan tanggungjawab mereka sekiranya mereka ini dapat bekerja atau tidak dapat melakukan kerja? Bagaimana nasib anak dan keluarga mereka sekiranya mereka ini tidak dapat ataupun diberhentikan kerja secara tiba-tiba? Terima kasih.
Baik, saya jemput Segamat.
Terima kasih Tan Sri Speaker bagi peluang untuk membahas berkenaan dengan rang undang-undang ini. Terutamanya sekali, saya ingin ucapkan tahniah dan juga syabas kepada KESUMA kerana bersungguh-sungguh untuk membantu dalam isu sosial sekuriti ini dan khususnya PERKESO. PERKESO Segamat juga saya ucapkan tahniah kerana baharu-baharu ini mereka menghubungi dan juga bekerjasama dengan pusat khidmat supaya perkara ini dilebarkan kepada seluruh masyarakat. Itu adalah satu perkara yang saya ingin memberi kredit kepada KESUMA kerana kita harus membela semua lapisan masyarakat sama ada di bandar ataupun di luar bandar. Pada masa yang sama, saya ingin juga memetik pada rang undang-undang ini fasal 3(b) dengan memasukkan selepas butiran 55, butiran yang berikut. Kalau kita lihat daripada 56 ke 65 ini, saya ingin juga mendapatkan sedikit maklumat daripada Menteri bahawa apakah justifikasinya untuk kita kekalkan caruman yang rendah ini dan berbanding dengan negara-negara lain? Adakah ia juga akan memberi implikasi supaya kita dapat coverage yang lebih eksklusif? Itu adalah saya ingin mendapatkan maklumat. Adakah caruman rendah ini kemungkinan besar antara mungkin kita dapat memberi perlindungan yang komprehensif berbanding dengan insurans komersial di luar sana, berbanding dengan untuk membantu protect kita punya employee? Saya juga ingin memberi cadangan kepada Yang Berhormat Menteri supaya hari ini ataupun pada masa-masa akan datang supaya kita boleh memberi opsyen untuk mereka memilih caruman ini mengikut kesesuaian ataupun sektor pekerjaan
mereka ataupun pakej yang boleh kita tawarkan kepada mereka? Mungkin ada yang mampu membayar lebih dan juga– kerana feedback ini adalah daripada kawasan- kawasan kita dan juga dapat mungkin ada yang rasa mungkin boleh dipertimbangkan. Saya ingin tanya juga, apakah usaha yang diambil oleh kementerian untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak dan prosedur di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 kerana kebanyakannya isu yang kita terima di pusat khidmat, di kawasan, biasanya isu yang selepas sahaja benda itu berlaku. Ada kemalangan bertimpa dan mereka ada yang aduan kata kita tidak terima dan sebagainya. Tetapi, kita tahu kita hormati juga proses PERKESO bahawa ia akan ambil masa dan juga penilaian yang dia perlu buat dan laporan daripada doktor dan sebagainya. Cuma, tahu juga apakah langkah-langkah yang diambil bagi kementerian untuk melebarkan ataupun memperluaskan maklumat ini kerana saya rasa ia amat penting. Saya juga sendiri sebagai Ahli Parlimen menaja 100 orang yang bekerja sendiri daripada pusat khidmat dan termasuk juga 100 orang suri rumah daripada pejabat saya untuk setahun bagi setiap pakej ini kerana kita mahu membawa kesedaran kepada masyarakat pentingnya sosial sekuriti ini supaya semua orang terlindung di bawah kementerian dan juga kerajaan. Saya juga ingin membawa perhatian kepada Yang Berhormat Menteri bahawa isu tambahan berkenaan dengan proses dan tuntutan dan syarat-syarat yang diletakkan bagi memudahkan pekerja ataupun dan juga majikan. Sebab biasanya kita terima bahawa kita ada pelbagai pakej yang kita tawarkan kepada pekerja dan yang biasanya menjadi masalah dan isunya adalah apabila bab tuntutan ini. Kita akan ada pelbagai syarat dan prosedur yang kita perlu ikut. Saya juga ingin membawa perhatian supaya kementerian harus melihat dan teliti juga supaya proses-proses ini tidak memberi bebanan ataupun yang boleh munasabah dan sebagainya. Kita juga perlu membuat dan menilai semula kaedah yang kita menilai untuk kita memberi perlindungan ini. Satu lagi perkara yang saya hendak ingin bawa adalah berkenaan dengan occupational health doctor (OHD) ini. Mereka memainkan peranan yang penting untuk menilai sesuatu kes ataupun memberi laporan untuk membuat tuntutan dan sebagainya. Saya juga mohon Yang Berhormat Menteri memerhati dan juga semasa ke semasa harus memberi perhatian kepada proses-proses membuat penilaian oleh OHD ini supaya tidak ada berlaku apa-apa langkah ataupun tindakan yang boleh menjejaskan tuntutan pekerja yang mengalami kemalangan di tempat kerja dan sebagainya.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) mempengerusikan Mesyuarat] Itu adalah saya rasa perkara yang sangat penting supaya– ini adalah isu-isu yang berkaitan yang sentiasa kerap dibangkitkan oleh masyarakat ataupun pekerja. Golongan pekerja, khususnya di kawasan Segamat dan juga keseluruhan negeri Johor. Ada lagi satu perkara juga yang saya ingin bertanya. Adakah terdapat sebarang rancangan untuk menyesuaikan caruman atau syarat kelayakan bagi mencerminkan keadaan ekonomi semasa dan beban kewangan majikan serta pekerja? Akhir sekali adalah adakah taklimat sistem insurans diberi kepada pekerja apabila mereka diambil pekerjaan?
Segamat.
Ya?
Minta laluan sedikit.
Sila.
Tadi saya ada mendengar Segamat sebut tentang tajaan 100 orang untuk SIP dan 120 untuk Skim Suri Rumah betul ya?
Ya.
Jadi, adakah Segamat bersetuju Parlimen-parlimen lain pun patut membuat tajaan sebegitu rupa? Terutamanya Parlimen pembangkang yang– adakah Segamat bersetuju Parlimen pembangkang yang tidak ada peruntukan, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan peruntukan untuk Parlimen pembangkang supaya Parlimen pembangkang juga boleh bagi tajaan seperti itu kerana di kawasan kita ini kita tidak ada peruntukan. Terima kasih Segamat. Setuju tak?
Terima kasih, terima kasih. Sebenarnya ada– saya boleh bagi dua jawapan. Satu, boleh terus mengadakan perjumpaan dengan PERKESO sebab agensi PERKESO ini sanggup bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang, kerajaan, agensi-agensi kerajaan. Keduanya, pencaruman ini tidak memerlukan peruntukan yang sebesarnya. Sebenarnya guna gaji pun jadi juga sebenarnya. Boleh buat sebenarnya. Gaji mereka pun sebenarnya boleh membawa buat program ini. Akhir sekali ialah berkenaan dengan nota tambahan kepada Yang Berhormat Menteri bahawa kita juga harus menilai komponen yang termasuk dalam gaji bulanan sebenarnya adalah gaji pokok, elaun tetap, bayaran lebih masa, bonus, komisen, bayaran untuk cuti dan sebagainya. Komponen yang tidak termasuk dalam gaji
adalah seperti yang caruman KWSP, PERKESO, bayaran tunggakan, elaun tidak tetap, faedah sampingan dan sebagainya. So, menurut Akta Pekerja 1955, setiap majikan diwajibkan untuk membayar gaji kepada pekerjaan dalam masa tujuh hari selepas tamatnya tempoh gaji, biasanya sebulan dan sebarang pelanggaran terhadap peraturan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang. Kenapa saya bangkitkan dalam akta ini adalah biasanya apabila ada membuat tuntutan dan perkara ini juga dibangkit bahawa gaji itu lewat dan sebagainya. So, saya yakin dengan kebijaksanaan Yang Berhormat Menteri dapat juga mempertimbangkan pada masa akan datang ini dalam Perkara 3(b) 56 hingga ke 65 ini kita harus kaji semasa ke semasa. Mungkin kita daripada RM5,000 ke RM6,000 ini mungkin akan bertambah supaya kita mewujudkan pakej-pakej yang sesuai mengikut keindustrian ataupun industry heavy duty atau pun industri yang soft skill, yang pekerjaan yang di pejabat dan sebagainya. So, oleh itu dengan ini saya juga ingin menyatakan bahawa Segamat ingin menyokong rang undang-undang ini dengan sepenuhnya. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Segamat. Saya jemput Yang Berhormat Mas Gading.
Terima kasih Puan Speaker. Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani kepada semua yang ada di dalam Dewan yang mulia ini. Puan Speaker, saya menyambut baik pindaan ini di dalam usaha dan komitmen kerajaan untuk menambah baik liputan sistem perlindungan kebajikan tenaga kerja melalui Sistem Insurans Pekerja demi menjamin kesejahteraan rakyat kita secara amnya, selari dengan peredaran zaman. Namun begitu, saya ingin menyentuh tentang beberapa perkara. Perkara pertama adalah yang paling utama yang ingin saya utarakan sini ialah mengenai kadar caruman. Selaras dengan pergerakan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang kian meningkat, saya percaya pelarasan ini akan menjadi satu faedah dan kelegaan kepada pekerja-pekerja di bawah kategori berkenaan. Mungkin ramai kita yang beranggapan bahawa mereka yang bergaji RM5,000 ke RM6,000 ini adalah golongan yang selesa. Namun begitu dengan kos sara hidup yang semakin tinggi rentetan bencana seperti pandemik COVID-19, keadaan ekonomi yang semakin kompetitif dan mencabar, masih ada golongan yang walaupun bergaji sebegini, mempunyai ramai tanggungan dan komitmen. Kita tidak boleh mengetepikan hak dan kebajikan mereka.
Secara amnya, mereka yang berpendapatan sebegini terdiri daripada mereka yang tergolong dalam pekerja yang berkemahiran dan juga pekerja ekonomi gig. Saya menyokong usaha kerajaan untuk mengambil pendekatan yang progresif ini untuk membantu golongan pekerja ini.
Namun begitu, saya ingin mencadangkan agar caruman pihak majikan dinaikkan sedikit. Saya cadangkan supaya kadar caruman pihak majikan dinaikkan sekurang-kurangnya dua kali ganda ke 0.4 peratus berbanding dengan 0.2 peratus. Seperti apa yang dicadangkan di bawah RUU ini. Manakala, caruman bagi pihak pekerja kekal sama ada seperti yang dicadangkan di bawah RUU ini. Kalau boleh, kesemua kategori kadar caruman yang dipertanggungjawabkan kepada pihak majikan di bawah Jadual Kedua Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 perlu dikaji semula dan dinaikkan juga. Saya juga mengambil kira kadar yang saya cadangkan akan diperluaskan, ditambah baik dan mutu kemudahan-kemudahan di bawah sistem insurans juga akan turut dipertingkatkan. Saya berpendapat bahawa kadar yang saya cadangkan ini adil kerana kalau kita lihat negara-negara maju seperti Singapura dan Australia, Sistem Insurans Pekerja dibayar sepenuhnya oleh pihak majikan. Seterusnya, bercakap tentang coverage ataupun liputan perlindungan kebajikan ini. Perkara kedua yang ingin saya utarakan di sini adalah berkaitan dengan kenaikan kadar caruman ini. Saya turut berharap agar faedah-faedah yang akan diterima oleh pekerja-pekerja yang terkesan dan layak akan turut dirombak semula dan dipertingkatkan selaras dengan kenaikan kadar yang telah dipersetujui di bawah RUU ini kelak. Saya mengambil contoh antara faedah yang diterima di bawah sistem ini ialah elaun latihan yang berjumlah RM10 ke RM20 sehari. Siapa di antara kita di sini yang boleh makan dengan jumlah ini sehari? Buruk-buruk pun satu kali duduk di kedai makan, bersarapan kita sudah membelanjakan kira-kira RM6 ke RM10. Belum lagi termasuk makan tengah hari, tambang bas dan sebagainya. Selain daripada itu, saya juga ingin mencadangkan agar faedah yang lebih meluas dan fleksibel diberikan di bawah sistem insurans ini. Contohnya dari sudut jenis-jenis latihan dan lokasi pusat- pusat latihan. Seterusnya, bagi perkara yang terakhir. Memandangkan sistem ini baru diperkenalkan semenjak 2018, saya ingin menyeru agar setelah RUU ini diluluskan kelak, usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan golongan ini akan dipergiatkan. Saya rasa ramai yang masih belum sedar akan kewujudan kemudahan-kemudahan yang diperuntukkan di bawah akta ini dan kerja-kerja
pemantauan juga perlu dipertingkatkan, khasnya di kawasan-kawasan pinggir dan luar bandar. Tindakan yang lebih keras perlu dikenakan ke atas majikan-majikan yang didapati melanggar ataupun tidak mematuhi akta ini. Dengan sistem teknologi yang kian canggih sekarang, saya juga berharap agar proses permohonan dan tuntutan dapat dipercepatkan dan dipermudahkan. Dalam erti kata lain, kurangkan kerenah birokrasi. Akhir kata, saya yakin usaha kerajaan untuk merombak semula kadar caruman ini adalah sekiranya kadar caruman dinaikkan sedikit lagi, kita akan dapat meningkatkan lagi mutu dan kesejahteraan sumber tenaga kerja kita khasnya tenaga kerja berkemahiran kita. Dengan ini, Mas Gading mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Mas Gading. Saya jemput Yang Berhormat Gerik.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Puan Yang di-Pertua kerana memberi laluan kepada Gerik untuk membahaskan rang undang-undang bagi meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017. Gerik mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada PERKESO Kuala Kangsar yang ada menghubungi Ahli Parlimen Gerik untuk melaksanakan pelbagai program untuk kawasan Parlimen Gerik dan Lenggong. Terima kasih diucapkan. Puan Yang di-Pertua, Gerik ingin mengatakan secara terbuka sokongan Gerik terhadap Rang Undang-undang (Pindaan) Sistem Insurans Pekerjaan 2024 ini yang dibentangkan di Dewan yang mulia ini. Namun demikian, terdapat beberapa aspek yang boleh diperbaiki untuk memastikan matlamat utama rang undang- undang ini tercapai dengan lebih efektif dan menyeluruh. Ada juga beberapa soalan yang Gerik ingin utarakan berkenaan pindaan RUU ini. Puan Yang di-Pertua, liputan perlindungan sosial insurans pekerja akan semakin meluas. Alhamdulillah, pindaan untuk menaikkan had maksimum gaji yang boleh diinsuranskan daripada RM5,000 tangga gaji kepada RM6,000 adalah satu langkah yang sangat baik untuk memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada lebih ramai pekerja. Ini akan memastikan pekerja dengan pendapatan yang lebih tinggi turut mendapat perlindungan yang sewajarnya seperti kemalangan dan kehilangan pekerjaan. Sepertimana yang dimaklumkan oleh YB Menteri tadi, hampir 1.4 juta pekerja akan mendapat manfaat daripada program ini.
Namun pada masa yang sama, jangan di lupa untuk mencapai angka ini penguatkuasaan akta adalah penting kepada syarikat-syarikat dan majikan-majikan supaya tidak culas untuk mencarum dan itulah hal utama yang perlu sentiasa dipantau dan ditegaskan oleh pihak kerajaan atau PERKESO atau pelaksana SIP ini barulah matlamat negara untuk membela para pekerja dan tujuan pindaan akta ini akan tercapai. Namun dalam hal ini, Gerik ingin bertanya adakah terdapat usaha untuk pihak kerajaan atau PERKESO untuk meneroka dan merintis kerjasama strategi baharu dengan sektor swasta dan GLC sebagai pelengkap ke arah penyediaan perlindungan insurans yang lebih komprehensif memandangkan dasar-dasar sedia ada, lazimnya hanya memberi perlindungan kepada kecederaan dan pendapatan asas. Puan Yang di-Pertua, yang keduanya apakah insentif kepada pekerja dan majikan terutama PKS? Sepertimana teguran beberapa Ahli Dewan sebelum ini Gerik juga ini membangkitkan apakah dengan bertambahnya jumlah pencarum insurans PERKESO atau SIP ini, pendapatan insurans PERKESO tentu akan meningkat. Namun apakah faedah kepada pekerja juga akan berubah atau bertambah? Contohnya had elaun kehilangan pekerjaan selama enam bulan adakah mencukupi dalam suasana ekonomi Malaysia yang masih suram ini atau mungkin tempoh masa bersyarat boleh ditambah daripada enam bulan kepada sembilan bulan atau kepada setahun. Begitu juga ilat atau kecemasan atau perubatan dan kecacatan, Gerik mohon ia juga dikaji semula selaras dengan perubahan akta ini. Perlu kepada satu perubahan menang-menang dalam isu untuk membela pekerja. Walau bagaimanapun, pindaan akta ini sememangnya memberi faedah kepada pekerja. Tapi adalah penting untuk memastikan majikan terutamanya majikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak terbeban dengan kos tambahan yang mungkin menjadi kesukaran para majikan untuk menanggung peningkatan caruman ini. Gerik cadangkan mekanisme untuk kita mengiktiraf syarikat-syarikat yang setia kepada peraturan dan dasar kerajaan untuk pekerja seperti tidak pernah gagal mencarum KWSP, PERKESO dan SIP ini dijadikan satu kriteria atau syarat untuk mendapat insentif atau faedah jaminan kerajaan dan juga pinjaman-pinjaman perniagaan dengan kadar caj faedah yang lebih rendah dan sebagainya. Dengan demikian, majikan akan merasai kesan langsung atas sebarang tindakan mereka. Gerik juga menyeru kerajaan memudah cara dan memastikan pemberian bayaran balik insentif atau subsidi bersasar dan sebagainya kepada PKS secara
telus berhemah dan berpatutan. Langkah ini sangat penting bagi membantu mengurangkan beban kewangan syarikat PKS ini. Puan Yang di-Pertua, selain daripada meningkatkan had maksimum gaji yang boleh diinsuranskan, kerajaan juga perlu melabur dalam program latihan dan peningkatan kemahiran untuk pekerja. Latihan adalah bersesuaian dengan kehendak pasaran. Ini akan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk memperoleh kemahiran baharu dan meningkatkan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan baru dalam jangka masa yang cepat. Program latihan boleh dijalankan melalui kerjasama dengan institusi pendidikan dan sektor swasta seperti mewajibkan pelabur luar berkongsi kepakaran latihan dan sebagainya. Dalam masa yang sama, Gerik ingin bertanya sebut soal latihan kepada pekerja, apakah kerajaan telah merangka satu pendekatan kursus untuk membantu kehilangan pekerja-pekerja akibat daripada perkembangan kecerdasan buatan (AI) atau peningkatan automasi merentas sektor serta perubahan penstrukturan dalam syarikat-syarikat besar ini? Jadi, Gerik berpandangan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan pindaan ini kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan perubahan ini secara berperingkat. Ini akan memberi masa kepada majikan dan pekerja untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini tanpa memberi tekanan berlebihan dalam jangka masa yang pendek. Bayangkan jika sebuah syarikat tersebut mempunyai lebih 50 orang pekerja. Ia pasti akan memberi implikasi kewangan yang bukan sedikit. Laksanakanlah secara berperingkat dan jangan dibuat macam kenaikan harga diesel baru-baru ini. Ia akan memberi kesan yang sangat mendadak kepada seluruh rantaian hidup rakyat. Jadi, laksanakan apa-apa dasar sekalipun, dengan cermat demi kepentingan rakyat. Bak kata pepatah, “ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berselerak”. Akhir kata Gerik secara dasarnya menyokong penuh Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 ini kerana ia...
Gerik, Gerik. Jiran saya minta laluan sedikit, boleh? Lagi seminit. Boleh ya?
Boleh, boleh.
Terima kasih Gerik. Kita membincangkan satu Akta Insurans Pekerjaan dengan tujuan untuk membela pekerja-pekerja yang hilang pekerjaan.
Jadi, saya nak tanya Gerik, adakah bersetuju dalam usaha kita nak membantu golongan yang hilang pekerjaan ini, pihak KESUMA dan juga pihak kerajaan cuba buat satu engagement ataupun satu usaha sama bagaimana kerajaan boleh membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar daripada Akaun 1. Ada ibu tunggal, bapa tunggal yang hilang pekerjaan yang tidak mencarum. Jadi, ada satu skim daripada PERKESO dan juga KWSP untuk keluarkan Akaun 1 kepada pekerja- pekerja yang hilang pekerjaan. Adakah Gerik bersetuju? Terima kasih.
Saya bersetuju dan masukkan dalam ucapan saya. Sebenarnya apa-apa juga dasar yang membantu pekerja dalam keadaan yang susahlah terutamanya kehilangan pekerjaan, kecacatan, kemalangan dan sebagainya. Semua yang menjurus ke arah kebaikan kepada pekerja itu semua Gerik setujulah. [Ketawa] Okey, jadi penutup ya Tuan Yang di-Pertua. Akhir kata, Gerik menyokong penuh rang undang-undang ini. Namun, jika pihak kerajaan atau PERKESO, SIP mengambil maklum beberapa penambahbaikan seperti mana yang Gerik cadangkan, Gerik yakin pelaksanaan pindaan ini lebih berkesan dan memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat. Oleh itu, saya berharap Dewan yang mulia ini dapat menerima rang undang-undang ini kerana dengan cadangan penambahbaikan ini ia memberi manfaat kepada kesejahteraan pekerja dan kestabilan ekonomi pada negara. Sekian, wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Terima kasih Yang Berhormat Gerik. Saya jemput Yang Berhormat Batu Pahat.
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih kepada Puan Timbalan Yang di-Pertua. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Terlebih dahulu kepada pihak KESUMA, tahniah kerana mengambil inisiatif meminda RUU ini dan juga saya ambil kesempatan tahniah kepada PERKESO Batu Pahat kerana mengambil inisiatif bagaimana untuk membantu rakyat di bawah ini. Puan Timbalan Yang di-Pertua, perkara pertama yang saya ingin bangkitkan ialah mengenai definisi gaji. Kita sedia maklum bahawa pindaan akta ini adalah untuk meningkatkan kebolehinsuranan amaun gaji pekerja tapi definisi gaji ini agak kurang jelas. Mohon Menteri jelaskan secara mendalam definisi gaji yang digunakan dalam pindaan akta ini. Adakah jumlah gaji hanya termasuk gaji kasar atau ada faedah-
faedah lain yang dapat seperti elaun kerja lebih masa ataupun komisen dan lain-lain yang seumpama dengannya? Saya percaya perkara ini perlu dijelaskan oleh pihak KESUMA agar tidak berlaku salah faham di peringkat syarikat dalam melaksanakan caruman dari pihak syarikat mahupun pekerja. Puan Timbalan Yang di-Pertua, perkara kedua yang ingin saya bangkitkan adalah liputan faedah daripada caruman insurans ini. Masalah terbesar dalam caruman insurans adalah apakah kemalangan atau kecederaan yang akan mendapat perlindungan daripada insurans ini? Kita sedar bahawa perkara ini selalunya berlaku kepada rakyat di bawah apabila insurans dibayar tidak melindungi pencarum kerana dikatakan kecederaan atau kemalangan yang dialami tidak termasuk dalam pelindungan insurans. Maka, persoalan yang ingin dibangkitkan apakah dengan kenaikan jumlah kebolehinsurans ini, adakah liputan perlindungan daripada insurans ini akan lebih besar kepada rakyat? Jika ya, bolehkah pihak Menteri KESUMA nyatakan apakah perlindungan yang diperoleh oleh rakyat dengan caruman insurans ini? Bolehkah pihak Menteri KESUMA– berapa ramai pekerja yang dapat manfaat dari SIP ini, terutama yang hilang mata pencarian dari Januari 2023 hingga hari ini? Puan Timbalan Speaker, yang ketiga saya ingin membangkitkan adalah mengenai caruman insurans secara peribadi oleh pekerja. Kita perlu sedar ada pekerja yang membuat caruman dalam perlindungan hayat ataupun kemalangan dengan mengambil kira dengan caruman peribadi pekerja, jumlah caruman adalah besar berbanding gaji pekerja. Perkara yang saya ingin bangkitkan adalah adakah pekerja akan juga mendapat perlindungan daripada insurans bawah RUU ini walaupun insurans peribadi juga menampung kemalangan ataupun kecederaan yang sama? Kerisauan saya adalah caruman insurans bawah RUU ini tidak akan digunakan jika terdapat insurans peribadi yang juga melindungi perkara yang sama. Sudah pasti ini akan membazirkan duit caruman rakyat. Mohon penjelasan oleh pihak Menteri KESUMA mengenai isu ini kerana perkara ini menjadi kerisauan rakyat di bawah, terutama pekerja-pekerja umur pertengahan. Keempat adalah tempoh membuat tuntutan bagi faedah RUU ini. Berdasarkan tafsiran akta yang sedia ada, orang yang berinsurans yang menganggap bahawa dia telah kehilangan pekerjaan perlu membuat tuntutan dalam masa 60 hari, Jika tuntutan dibuat lebih 60 hari, adakah tuntutan akan ditolak? Saya mohon pertimbangan daripada pihak Menteri KESUMA untuk menaikkan tempoh untuk membuat tuntutan kepada 90 hari kerana ianya akan
memberi lebih masa kepada rakyat dalam menyelesaikan perkara-perkara keperluan terutama selepas kehilangan pekerjaan atau kemalangan. Saya percaya dengan kenaikan tempoh ini, tidak akan memberi beban yang besar kepada kerajaan terutamanya dalam menaikkan tempoh tuntutan. Perkara ini amat memudahkan pekerja dalam mendapat faedah dalam insurans yang dicarum. Oleh itu, saya amat menyokong dengan usaha pihak KESUMA yang ingin menaikkan jumlah kebolehinsurans melalui pindaan ini. Ini merupakan suatu usaha yang baik, yang bagus dalam meluaskan nilai faedah insurans kepada pekerja. Tidak ada berapa perkara – Tetapi ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh Menteri dalam memastikan RUU ini adalah lebih baik dan memberi faedah kepada pekerja. Bukan itu sahaja, apa-apa persoalan mengenai pindaan perlu dijawab oleh Menteri agar rakyat faham mengenai pindaan akta ini berfungsi. Akhir kata, ada pantun untuk Menteri. Oh, Menteri pun tak ada. Bina rumah bersama-sama, Atas tanah tepi kuala, Tahniah buat Menteri KESUMA, SIP di laksana pekerja dibela. Dengan itu Batu Pahat menyokong RUU ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Saya jemput Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Terima kasih kepada Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800] yang melibatkan pindaan kepada Jadual Kedua dan Ketiga bagi memasukkan kadar caruman baharu yang perlu dibayar oleh majikan dan pekerja. Tuan Yang di-Pertua, bagi tujuan pindaan ini, pihak kementerian telah mencadangkan peningkatan siling gaji bulanan daripada RM5,000 kepada RM6,000. Hasilnya, implikasi pindaan ini telah menaikkan faedah tunai contohnya Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), RM13,365 naik kepada RM16,065. Persoalannya, berapa lamakah kadar siling ini hendak dikekalkan kerana kos sara hidup di Malaysia meningkat terlalu tinggi? Jadi, faedah tunai yang diperoleh tidak mampu lagi kos sara hidup terutamanya apabila Kerajaan MADANI menerajui negara Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, sejak akta ini diperkenalkan pada tahun 2018, mungkin banyak isu-isu dan kelompangan yang perlu diteliti semula. Satu persoalan di sini,
adakah kerajaan turut merancang bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan akibat perkembangan teknologi atau menstrukturkan semula syarikat-syarikat? Maka, di sini banyak pekerja-pekerja yang dibuang ataupun diberhentikan. Tuan Yang di-Pertua, sebelum ini kita pernah mendengar mengenai ratusan ribu pekerja di negara kita sedang bekerja sebagai pekerja perkhidmatan sokongan seperti pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di sekolah- sekolah kerajaan. Mereka ini diupah syarikat kontraktor yang mendapat kontrak daripada kerajaan. Apa yang berlaku ialah majikan mereka telah menggunakan kontrak bertempoh tetap (fixed-term contract) untuk mengupah mereka. Ini merupakan satu penyalahgunaan kontrak perkhidmatan bertempoh tetap kerana kerja yang bergaji rendah ini adalah kerja yang tetap bukannya kerja sementara, kerja bermusim ataupun kerja sekali habis.
Penggunaan kontrak bertempoh tetap telah memudahkan pihak majikan untuk memberhentikan pekerja sesuka hati dengan alasan habisnya tempohnya kontrak perkhidmatan dan menyebabkan mereka tidak mendapat perlindungan di bawah SIP. Justeru, Akta 800 ini perlu melihat kepada kelompangan perlindungan kepada pekerja dengan status kontrak seperti ini. Tuan Yang di-Pertua, pindaan RUU Sistem Insurans Pekerja (Pindaan) 2024 harus juga memikirkan isunya bagi pencarum yang berdepan dengan masalah kehilangan pekerjaan akibat majikan yang bankrap ataupun muflis. Adakah terdapat inisiatif tambahan dan berapakah penerimaan manfaat yang tergolong di bawah SIP setakat ini? Persoalannya juga, apakah usaha penambahbaikan dari segi tuntutan kemudahan atau ganti rugi yang layak dibuat sekiranya pencarum mempunyai insurans peribadi dan pada masa yang sama merupakan pencarum di bawah SIP. Tuan Yang di-Pertua, mengikut statistik kemalangan pekerjaan yang dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan adalah melebihi daripada 58.9 peratus, di mana pada tahun 2022, adalah seramai 34,216 kes. Oleh itu, RUU Insurans ini perlu pastikan semua majikan mencarum pekerja-pekerja mereka bagi menjamin apabila pekerja mengalami kemalangan dan dapat dilindungi. Oleh itu, Kulim-Bandar Baharu menyokong demi kepentingan pekerja untuk kelangsungan kehidupan dan keluarga. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Saya jemput Yang Berhormat Kepala Batas.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua di atas peluang dan ruang yang diberikan kepada Kepala Batas untuk sama-sama terlibat dalam perbahasan Rang Undang-undang Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024. Tuan Yang di-Pertua, Kepala Batas berpandangan bahawa pindaan terhadap akta ini dapat memberi impak yang positif terhadap kesejahteraan para pekerja dan majikan di negara ini. Peningkatan had gaji maksimum yang layak untuk kebolehinsuransan dari RM5,000 kepada RM6,000 diharap dapat membantu meringankan keperluan kesihatan dan penambahbaikan sistem insurans pekerja yang sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup. Namun Kepala Batas ingin berkongsi beberapa pandangan bagi penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan ini. Tuan Yang di-Pertua, pertama pencen ilat. Pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15 Tahun 2024 yang lalu, Kepala Batas telah memohon maklumat daripada Menteri Sumber Manusia berkaitan pencen ilat dari tahun 2020 hingga 2023. Kepala Batas mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak Menteri dan kementerian yang telah menyalurkan maklumat tersebut. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 49,904 kes orang berinsurans PERKESO yang menurut keilatan telah dirujuk kepada Jemaah Doktor PERKESO di seluruh negara. Sebahagian daripada permohonan tersebut, sebanyak 47.2 peratus kes telah disahkan menghidap keilatan. Sebahagian tempoh yang sama, sebanyak 25,778 orang berinsurans telah mengemukakan rayuan dan sebanyak 43.2 peratus kes disahkan menghidap keilatan oleh Jemaah Doktor Rayuan PERKESO. Ini bermakna daripada keseluruhan jumlah permohonan, sebanyak 15,195 permohonan telah ditolak. Kepala Batas memohon penjelasan terperinci daripada pihak kerajaan apakah punca permohonan mereka ini ditolak? Adakah kerana mereka ini tergolong dalam kalangan mereka yang berpendapatan lebih daripada RM5,000 seperti yang terdapat dalam Akta 800. Kedua, pendaftaran pekerja oleh majikan. Tuan Yang di-Pertua, merujuk laporan portal berita atas talian Harian Metro paparan 6 Jun 2023, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyeru majikan memanfaatkan bulan pemutihan untuk mendaftar dan membayar caruman kepada PERKESO sebelum dikenakan tindakan penguatkuasaan. Kegagalan majikan untuk mendaftar adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan kompaun dan dakwaan di bawah Akta 4 dan juga Akta 800 yang termaktub.
Justeru, Kepala Batas ingin bertanya, berapakah jumlah caruman terkumpul sehingga kini dan adakah hasil dari kutipan caruman ini turut dibelanjakan untuk menambah baik tawaran perkhidmatan kepada pencarum? Bagi majikan yang gagal mendaftar, berapakah jumlah kompaun dan dakwaan terkini yang telah dikeluarkan di bawah Akta 800? Ketiga, kos elaun Jemaah Doktor dan Jemaah Doktor Rayuan. Tuan Yang di- Pertua, melalui jawapan yang diberikan oleh Menteri Sumber Manusia sebelum ini sebanyak 52 hospital kerajaan telah digazetkan di bawah Akta 4 bertindak sebagai Jemaah Doktor PERKESO dan 24 hospital kerajaan sebagai Jemaah Doktor Rayuan PERKESO. Kepala Batas ingin dapatkan kepastian dan penjelasan, berapakah kos yang ditanggung oleh PERKESO bagi pembayaran elaun kepada setiap doktor yang dilantik sebagai ahli panel Jemaah Doktor (JD) dan juga Jemaah Doktor Rayuan (JDR) yang berjumlah 955 orang ketika ini. Adakah terdapat kemungkinan penambahan doktor bagi mengisi jawatan ini? Keempat, majikan sebagai pekerja. Ops Kesan kali ke-14 oleh pihak PERKESO sebelum ini menyatakan bahawa semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja untuk turut mendaftar. Kepala Batas ingin berkongsi pengalaman bertemu para peniaga berketurunan Cina ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang lalu. Ramai dalam kalangan mereka pengusaha perniagaan dalam kalangan mereka menyatakan mengeluh akan kemerosotan pendapatan. Malah ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu lagi mengambil pekerja, sama ada dari kalangan rakyat tempatan mahupun warga asing. Terdapat juga para majikan ataupun pemilik syarikat mendaftarkan diri mereka sendiri sebagai pekerja syarikat dengan mengambil gaji asas seperti pekerja lain. Justeru, Kepala Batas ingin tahu, adakah sistem insurans pekerjaan ini akan turut membantu para majikan mendaftarkan diri mereka sebagai pekerja. Adakah mereka turut mendapat faedah ataupun manfaat seperti mana yang termaktub dalam Akta 800? Sekiranya tidak, adakah pihak kerajaan bersedia untuk menimbangkan perkara ini. Bagi rakyat dalam keadaan perniagaan yang sedang merosot ataupun mengalami kekangan kewangan sudah pasti ia dapat membantu meringankan beban yang sedang ditanggung. Tuan Yang di-Pertua, yang kelima kecederaan di luar waktu kerja. Kepala Batas mendoakan agar pemain bola sepak negara Muhammad Faisal Halim terus cekal dan pulih dari kecederaan yang dialaminya selepas disimbah asid pada 5 Mei yang lalui. Semoga Allah berikan kesihatan, kesembuhan kepada Mickey.
Kejadian malang menimpa penyerang sayap kebangsaan ini menunjukkan bahawa Selangor FC dan Red Giant FC Sdn Bhd dalam mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial 1999 (Akta 4) dan juga Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Pindaan) 2024 insya-Allah, Akta 800 menjadi faktor besar pemain negara itu layak mendapat perlindungan sosial daripada agensi keselamatan sosial berkenaan. Walaupun kejadian itu berlaku di luar waktu kerja, namun Faisal Halim boleh menerima bantuan rawatan awal dan pemulihan kerana majikannya mencarum di bawah Akta 4 PERKESO bagi kedua-dua skim iaitu bencana pekerjaan dan keilatan. Tahniah diucapkan kepada PERKESO dan pihak kementerian atas keprihatinan dengan apa yang telah berlaku kepada pemain negara ini. Kepala Batas ingin mencadangkan agar bantuan rawatan awal dan pemulihan juga turut dapat dipanjangkan ataupun diperhalusi kepada para pencarum lain yang cedera ataupun kemalangan ketika di luar waktu kerja. Ada dalam kalangan para pekerja berkemahiran tinggi ini melihat tubuh badan mereka sebagai aset paling penting untuk melakukan pekerjaan. Misalnya, seorang pengimpal kapal. Sekiranya berlaku kemalangan ke atas salah satu anggota badannya kerana terlibat dengan kemalangan di luar waktu kerja, sudah pasti ia akan memberikan impak dan kesan negatif terhadap kemampuannya untuk bekerja. Rumusannya, Tan Sri Tuan Yang di-Pertua, Kepala Batas berharap agar perkongsian ini dapat menambah baik proses pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2024. Bagi yang tidak mampu mengambil insurans nyawa peribadi sudah pasti melihat caruman PERKESO ini sebagai talian hayat untuk membantu ketika saat memerlukan. Mungkin dengan penambahbaikan yang dilaksanakan akan menarik lebih ramai majikan dan pekerja perseorangan mendaftar sebagai pencarum. Sekian, terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Kepala Batas. Saya jemput Yang Berhormat Jerlun.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Tuan Yang di-Pertua. Merujuk Fasal 3, Butiran– fasal 3(a). Saya mengambil contoh Butiran 55, gaji RM5,000 sehingga RM5,100 caruman majikan RM10.10 dan caruman pekerja juga RM10.10 yang berjumlah RM20.20 sebulan.
Baik. Jika seorang pekerja mahu menambah caruman dirinya secara sukarela daripada RM10.10 kepada RM11.90― dia lompat daripada butiran 55, dia lompat ke Butiran 65, seolah-olah gajinya itu melebihi RM6,000― adakah dibenarkan oleh
peruntukan yang mahu dipinda ini, kalau secara sukarela? Jika dibenarkan, adakah ia mengikat majikan untuk membuat caruman sama seperti caruman sukarela oleh pekerja itu? Kita semua mengakui bahawa Akta Sistem Insurans Pekerjaan [Akta 800] ini adalah sesuatu yang baik kepada pekerja sebagai suatu bentuk perlindungan kepada pekerja sama ada hilang pekerjaan, berlaku keilatan kekal akibat kemalangan, kematian dan seumpamanya. Akta ini dirujuk kepada kakitangan atau pekerja tempatan. Jika pekerja tempatan atau pekerja majikan tempatan, ia tidak menjadi isu dari segi pelaksanaan RUU ini. Persoalan saya. Sekarang ini dalam negara kita banyak warga asing yang diambil bekerja dalam pelbagai sektor. Jika pekerja itu warga asing yang bekerja dalam sektor perkhidmatan pembantu rumah, pembinaan, perhotelan dan sebagainya, adakah majikan tempatan ini terikat dengan Akta SIP ini untuk mencarum juga kepada warga asing yang menjadi pekerja dia? Baik. Jika tidak terikat dengan Akta SIP ini― katakanlah berlaku musibah kepada mereka atau mereka dibuang kerja oleh majikan, bukan mereka berhenti kerja secara sukarela. Kalau berhenti kerja secara sukarela, dia tidak boleh menuntut faedah di bawah Akta SIP ini. Adakah dibenarkan oleh peruntukan undang-undang untuk mereka menuntut hak akibat dibuang kerja atau berlaku kemalangan demi kebajikan mereka? Baik, satu sudut yang lain. Pada aspek pembayaran faedah tuntutan. Saya merujuk seksyen 33 akta ibu yang memberikan kuasa mutlak kepada PERKESO, sama ada untuk meluluskan tuntutan atau menolak tuntutan yang dikemukakan oleh seseorang pekerja dengan alasan-alasan yang dikemukakan. Dia ada kuasa. Satu contoh. Sebab saya ada pengalaman di kawasan saya. Seorang pekerja dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke rumah majikan. Selepas menerima arahan daripada majikan, datang ke rumah dia untuk ambil fail dan fail itu perlu dibawa ke pejabat pada hari yang sama untuk membuat tindakan seperti yang diarahkan. Dalam perjalanan ke rumah majikan, dia belum lagi pergi ke pejabat pada hari yang sama, pekerja tersebut mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan keilatan. Dia dimasukkan ke hospital dalam satu tempoh masa yang lama. Berlaku kecederaan di bahagian kepala, hilang penglihatan, sebahagian kabur. Apabila dikemukakan tuntutan kepada PERKESO, majikan dipanggil untuk membuat pengesahan. Diminta surat pelantikan pekerjaan, rekod bayaran caruman pada setiap bulan, membuat lakaran kejadian yang berlaku pada hari yang sama, report polis. Semua complete. Akhirnya, tuntutan itu ditolak. Sedangkan pekerja itu terlantar sakit, keilatan kekal. Hanya dengan alasan yang diberikan iaitu pekerja itu
tidak pergi ke pejabat. Kalau dia pergi ke pejabat, berlaku keilatan kekal, PERKESO bayar. Ini dia pergi ke rumah majikan. Seolah-olah menganggap rumah majikan itu bukan premis pekerjaan sedangkan dia menerima arahan daripada majikan untuk datang ambil fail dan buat tindakan. Akhirnya, ini yang menjadi isu. Jadi, saya ingin memohon pertimbangan Yang Berhormat Menteri, sama ada mengeluarkan apa-apa pekeliling― walaupun seksyen 33 ini tidak dipinda― memberi kuasa budi bicara selepas PERKESO mengarahkan pegawai ke, kakitangan ke turun ke lapangan kepada rumah majikan ataupun pekerja yang berlaku kemalangan, lihat sendiri, tengok sendiri keadaan. Kalau kita tolak macam itu, berapa banyak nasib pekerja yang mengalami situasi yang sedemikian hanya disebabkan tafsiran semata-mata oleh pihak yang berkenaan. Jadi dalam hal ini, budi bicara, pertimbangan yang adil dan saksama demi kebajikan pekerja harus diberi perhatian oleh PERKESO. Sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Jerlun. Saya jemput Yang Berhormat Arau.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, rakyat Malaysia, orang muda. Tap, tap screen, guys. Yang Berhormat, saya terus kepada tajuk. Ini RUU yang mendapat sokongan 100 peratus Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia. Bukan kerana ini Kerajaan Madani tetapi disokong kerana ini adalah kepentingan rakyat. Jadi, kita sokong, Yang Berhormat. Cuma, untuk penambahbaikan, kita mencadangkan. Kalau tak boleh pun, Yang Berhormat cuba fikirkan bagaimana kita boleh― di samping kita mendapatkan sumbangan, bagaimana boleh kita bagi balik kalau sekiranya mereka yang seperti berikut. Ini kita lebih beri penekanan kepada orang hilang pekerjaan, bankrap, bencana alam dan juga lain-lain lagi. Tetapi, saya dah tanya pegawai-pegawai. Menteri akan jawab, dia orang kata. Kalau sekiranya orang itu dia bersih, sampai umur 60 dia bersih, dia bagi sumbangan, dia tak ada accident, dia tak ada apa, apakah dikira ini sebagai tabungan balik? Sebab, yang ini, Yang Berhormat, ini ialah skim insurans. Tapi, saya dapat maklumat, PERKESO tak ambil syarikat insurans. Tapi, PERKESO sendiri ialah merupakan syarikat insurans. Yang bererti, dia ada duit lebihan. Jadi, lebihan itu, bagi mereka yang tidak menuntut apa-apa, dicadangkan supaya dia dipertimbangkan balik dalam percentage, dengan izin, tertentu― 30
percent. Makna, dia bagi sumbangan. Walaupun dia tidak terlibat dengan apa-apa perkara yang hilang pekerjaan dan sebagainya. Saya minta dipertimbangkan perkara ini. Kalau sekiranya berat sangat― saya nak tanya, sebab skim ini namanya insurans, tapi yang uruskan adalah PERKESO. Jadi, apakah boleh dipertimbangkan dalam bentuk tersebut? Keduanya ialah saya percaya bila insurance company untuk membolehkan supaya kutipan yang dia dapat itu dia pertahankan, dia akan buat pelaburan. Sudah pasti ada panel pelaburan daripada PERKESO sendiri yang akan menentukan hala tuju. Yang Berhormat, baru-baru ini, saya pernah mendapat satu maklumat. Terdapat satu syarikat amanah di Malaysia yang telah melabur di sebuah negara dan dia rugi dekat RM1 bilion sebab tempat yang dia labur itu tak honor. Dia telah dibuat semua, tetapi mereka tidak bayar. Jadi, saya minta supaya berhati-hati. Walaupun dia beritahu bahawa dalam panel pelaburan itu ada wakil kementerian dan sebagainya.
Wakil kementerian, dia bukan ada kepakaran. Dia ialah mewakili authority, kuat kuasa. Kita kena ambil yang ada kepakaran supaya mereka boleh bagi- memberi cadangan yang bernas untuk pastikan supaya pelaburan ini dapat dibuat dengan baik. Ini cuma nak maklumkan, bukan kata ini merupakan satu isu tapi saya kata berhati-hatilah di jalan raya yang penuh mencabar ini. Keduanya ialah tentang tuntutan. Hat yang ini sedang dibicarakan. Pekerja- pekerja biasa ini dia tak faham Yang Berhormat, dia tak faham nak pi buat tuntutan dan sebagainya. Saya cadangkan Yang Berhormat ikut cara yang dibuat oleh pengurusan zakat. Saya bagi contoh sebuah negeri, negeri Perlis contoh. Kita kutip zakat tapi kita nak bagi pada asnaf, kita tak perlu asnaf itu datang kepada kita. Kita turun pergi cari asnaf. Malah, Yang di-Pertua nya yang juga pemangku Raja Perlis, dia naik basikal sekeliling Perlis untuk mencari asnaf, di samping ianya dijalankan melalui sistem yang ada. Tetapi sekiranya pekerja itu berhenti, dia nak buat tuntutan dalam keadaan dia gaji rendah, susah, gelisah, keluarga bermasalah dan sebagainya. Biar ianya menjadi secara automatik. Mata majikan secara automatik dengan menggunakan sistem tertentu memaklumkan pada PERKESO bahawa dia telah berhenti kerja. Itu Yang Berhormat, kita nak ambil duit daripada orang, kita minta dia orang bayar duit. Tapi bila orang nak tuntut, kita terpaksa– orang itu kena datang balik. Padahal, patutnya ada sistem. Sebab dalam mencarum ini dia ada sistem. Sistem yang membolehkan supaya orang yang berhenti itu dia secara automatik dia dibayar oleh PERKESO. Sekarang ini PERKESO bagi tempoh sampai enam bulan. Saya
cadangkan sebab orang-orang kecil ini, bagilah tempoh Yang Berhormat sampai setahun. Kalau tak boleh setahun pun sekurang-kurangnya sembilan bulan sebab bukan senang nak cari pekerjaan sekarang. Masa senang-lenang, negara senang-lenang, tidak ada masalah. Sebab negara sekarang ini bukan negara– sebenarnya angka-angka dia bagi lain tapi rakyat lain. Kita kata rakyat tak susah. Rakyat susah. Kita kata senang. Jadi, Yang Berhormat dalam keadaan sekarang ini saya cadangkan supaya ianya dijadikan secara automatik. PERKESO tak perlu lagi fikir kena orang itu datang membuat tuntutan. Kadang-kadang dua, tiga bulan dan dia pun sudah sengsara kehidupan. Jadi, saya cadangkan supaya berhenti sahaja, sistem telah menunjukkan bahawa dia berhenti dan PERKESO kena cari orang ini dan majikan kena mengambil tanggungjawab untuk memaklumkan secara rasmi. Tapi cara tak rasmi, cara automatik, sistem telah menunjukkan bahawa dia telah berhenti kerja ataupun lain- lain lagi. Dengan cara tersebut, saya percaya PERKESO akan menjadi badan yang terbaik di dunia. Kalau tidak nanti, kita kutip duit tapi orang yang nak tuntut kadang tiga bulan, kadang-kadang dia sudah tidak berada lagi di dunia ini. Kita nak pastikan supaya ianya memudahkan, bukan menyusahkan. Keduanya, dalam RUU ini dia sebut perkataan RM6,000 ke atas, Yang Berhormat. Jadi, RM6,000 ke atas itu sumbangannya ialah hanya berdasarkan kepada RM6,000. Saya cadangkan yang RM6,000 ke atas ini tak ramai. Bagilah, bagi sumbangan kalau RM6,000– sekarang kita bagi syaratlah RM6,000 ke atas RM25, RM7,000 - RM50 dan sebagainya. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan RM6,000 ke atas ini tak ramai. Sekalikan supaya sumbangan mereka dapat bagi sumbangan bagi semua pendapatan yang mereka dapat. Jadi Yang Berhormat, sekali lagi saya nak minta dipertimbangkan iaitu supaya rakyat Malaysia tidak kira, terutamanya sekarang ini orang muda yang banyak terlibat dengan pemberhentian kerja dan sebagainya, biarlah ianya berlaku secara automatik sebab kita kena ingat, bila berlaku perkara tersebut, dia merupakan masalah yang bertimpa-timpa. “Sudah jatuh ditimpa tangga”. Kita pula bagi syarat dan sebagainya. Jangan buat syarat. Biar masa itulah kita muncul di hadapan orang susah. Kita akan dikenang sepanjang hayat. Terima kasih. Sekali lagi saya nak beritahu, skim insurans ini disokong oleh rakyat Malaysia dengan baiknya. Yang Berhormat mungkin layak jadi Setiausaha Agung lepas ini, supaya dunia lebih mencabar. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Arau. Saya jemput Yang Berhormat Bakri.
Terima kasih Yang Berhormat Puan Yang di- Pertua. Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani. Semalam kita bahaskan tentang PERKESO. Hari ini sistem insurans pekerjaan. Perkara yang sama, saya ingin mohon kementerian untuk mempertimbangkan supaya had kebolehinsuranan ditingkatkan. Ia bukan sahaja RM6,000. Pertimbangkanlah sekiranya RM8,000 ataupun lebih. Memandangkan laporan survey pendapatan isi rumah pada tahun 2022 telah menunjukkan bahawa pendapatan median isi rumah di bandar adalah sebanyak RM7,243. Jadi, perkara ini penting supaya bagi mereka yang telah hilang pekerjaan secara tiba-tiba, masih boleh hidup secara bermaruah. Yang Berhormat Puan Yang di-Pertua, Sistem Insurans Pekerjaan ataupun Employment Insurance System adalah program yang diuruskan oleh PERKESO untuk memberikan jaringan keselamatan kepada golongan pekerja, memastikan pekerja mempunyai bantuan kewangan dan bantuan pekerjaan baru kepada pekerja yang kehilangan pekerja secara tiba-tiba. Elaun mencari pekerjaan dalam SIP sebanyak enam bulan akan diberikan kepada pekerja dalam tempoh pencarian kerja baru. Jumlah EMP yang pekerja boleh dapat bergantung kepada peratusan kadar bulanan secara menurun iaitu 80 peratus, 50 kemudiannya 40 dan 30 daripada gaji yang diinsuranskan. Maka, saya harap saya cadangkan kementerian supaya mempertimbangkan, meningkatkan peratusan EMP bagi tiga bulan yang pertama daripada 80, 50, 40 peratus, kalau boleh kepada 100 peratus, 80 peratus, 60 peratus. Kerana peratusan EMP yang sedia ada agak rendah dan mungkin tidak mencukupi untuk keluarga yang hilang pendapatan secara tiba-tiba. Yang Berhormat Puan Yang di-Pertua, Sistem Insurans Pekerjaan dia tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada pemberian elaun kewangan sahaja. Kerajaan juga mempunyai peranan yang penting dalam mewujudkan suasana dan persekitaran yang memberikan jaminan keselamatan pekerjaan bagi kelas pekerja. Ini termasuk memastikan wujudnya peluang pekerjaan yang berterusan, perlindungan hak-hak pekerja dan penyediaan kemudahan latihan dan pembangunan kemahiran yang berkualiti. Kita memerlukan persiapan dan pandangan jangka panjang untuk memastikan rakyat mempunyai jaminan pekerjaan yang kukuh. Langkah ini bukan sahaja sesuatu yang bersifat sementara tetapi juga harus menjadi asas untuk menghadapi cabaran masa depan. Kita perlu menyediakan program-program latihan dan pembangunan kemahiran yang berterusan untuk pekerja supaya mereka sentiasa bersedia menghadapi perubahan dalam pasaran kerja. Dalam konteks ini, program upskilling dan reskilling adalah sangat penting dan
perlu dijalankan sepanjang masa sebagai satu usaha yang berterusan. Banyak laporan-laporan menunjukkan bahawa e-upskilling dan e-reskilling ini adalah sangat penting. Maka, saya harap program-program seperti ini boleh dijalankan bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga dengan kerjasama dengan industri. Kajian oleh Deloitte pada tahun 2021, mendapati bahawa 93 peratus syarikat melaporkan kekurangan kemahiran sebagai satu cabaran utama. Oleh itu, menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat dan sektor industri adalah penting untuk memahami keperluan pasaran kerja dan menyesuaikan program latihan mengikut permintaan. Kita boleh juga mengadakan program latihan praktikal dan internship bagi membolehkan pekerja memperoleh pengalaman langsung dalam bidang yang relevan.
Senang kata, kita perlu menjadikan program-program peningkatan kemahiran sesuatu pembelajaran sepanjang hayat. Kajian oleh OECD menunjukkan bahawa negara-negara yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat mempunyai kadar pengangguran yang lebih rendah dengan memanfaatkan teknologi yang terkini, menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di kalangan pelajar menjadi lebih mudah dengan menyediakan akses kepada platform pembelajaran dalam talian, seminar dan bengkel. Kementerian boleh melalui HRDF atau agensi-agensi yang lain memberi insentif kepada pekerja dan majikan untuk terlibat dalam program pembelajaran berterusan yang dapat meningkatkan produktiviti dan inovasi. Menurut LinkedIn Learning Report, syarikat yang melabur dalam pembelajaran mempunyai 24 peratus lebih tinggi kemungkinan untuk mencapai matlamat perniagaan mereka. Yang Berhormat Puan Yang di-Pertua, kerajaan juga perlu menyediakan sokongan kewangan untuk latihan, program dan pembangunan kemahiran termasuk subsidi dan geran. Menurut laporan Bank Dunia, negara yang melabur dalam pendidikan dan latihan mendapat pulangan yang signifikan dalam bentuk peningkatan produktiviti pekerja. Kita perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran mengenai pentingnya upskilling dan reskilling untuk jaminan pekerjaan masa depan. Data daripada World Bank menunjukkan bahawa kesedaran dan akses kepada latihan berkualiti boleh mengurangkan kadar pengangguran sebanyak 15 peratus. Kita perlu memastikan pekerja sentiasa bersedia menghadapi perubahan dalam pasaran kerja dan mempunyai peluang untuk berkembang dan menyesuaikan diri dengan keperluan masa depan. Program upskilling dan reskilling bukan sahaja akan memperkukuh jaminan pekerjaan tetapi juga meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Selain itu, kerajaan perlu memastikan wujudnya peluang pekerjaan yang mampan dan meningkatkan kebolehan pekerja untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Sebagai kerajaan, kita mempunyai sumber dan kemampuan yang mencukupi untuk memberikan bantuan kepada rakyat dalam menghadapi cabaran masa depan. Kita harus menggunakan sumber-sumber ini dengan sepenuhnya, memberikan pengetahuan dan bantuan profesional supaya rakyat dapat menghadapi era kecerdasan buatan atau AI dengan yakin. Dengan sumber yang ada, kerajaan perlu memastikan setiap pekerja menerima latihan dan pendidikan yang relevan untuk masa depan. Selain itu, kerajaan perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan termasuk dasar-dasar yang menyokong inovasi dan keusahawanan. Teknologi kecerdasan buatan atau AI sedang berkembang pesat dan meliputi semakin banyak bidang dan pekerjaan. Banyak pekerjaan yang dahulunya dianggap sebagai pekerjaan tetap seperti jurutera dan jurutera perisian yang mana Yang Berhormat Menteri faham.
Yang Berhormat, masa sudah tamat.
Saya cuba ringkaskan. Pekerjaan-pekerjaan kini berisiko diganti oleh AI. Ini menunjukkan betapa pentingnya bagi kita untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan memastikan Sistem Insurans Pekerjaan kita mampu menyokong pekerjaan dalam menghadapi perubahan ini. AI dan teknologi automasi telah mula mengambil alih tugas-tugas rutin dan berulang yang biasa dilakukan oleh jurutera. Contohnya, dalam industri pembuatan, robot-robot pintar digunakan untuk menjalankan tugas-tugas seperti pengimpalan, pemasangan dan pemeriksaan kualiti secara automatik. Menurut laporan daripada McKinsey Global Institute, sekitar 45 peratus daripada aktiviti yang dilakukan oleh pekerja dalam semua industri boleh diautomasi dengan teknologi sedia ada. Alat-alat AI kini digunakan dalam proses reka bentuk produk dan struktur. AI boleh menjalankan simulasi dan analisis kejuruteraan dengan lebih pantas dan tepat, membolehkan jurutera untuk memperbaiki reka bentuk mereka berdasarkan data yang diperolehi. Maka, adakah kita bersedia untuk menghadapi segala perubahan ini? Adakah kerajaan ada satu rancangan atau strategi dengan kerjasama daripada universiti- universiti untuk merancang dan memberikan satu haluan kepada golongan kelas pekerja supaya kita bersedia dengan perubahan segala ini?
Masa sudah tamat. Terima kasih.
Secara keseluruhannya, Sistem Insurans Pekerjaan bukan sahaja perlu membantu mereka yang kehilangan pekerjaan...
Luar tajuk, luar tajuk.
...untuk mencari pekerjaan tetapi juga perlu menyediakan latihan peningkatan kemahiran semasa tempoh pekerjaan selain daripada memberikan elaun...
Yang Berhormat Bakri, habiskan ayat ini dan sila duduk.
Ya.
Habis, habis. Pantun, pantun.
Pantun ya?
Pantun, pantun.
Okey, pantun.
[Dewan ketawa]
Belayar perahu di tengah lautan, Menuju pulau penuh harapan, Bersama kita bina masa depan, Kemahiran dan ilmu jadi bekalan. Sekian, terima kasih.
Steady, steady Bakri.
Terima kasih, Yang Berhormat Bakri. Saya jemput Yang Berhormat Machang.
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Menteri KESUMA, sahabat saya. Betullah, saya setuju dengan Arau. Ini calon Setiausaha Agung DAP yang akan datang. Jadi, insya-Allah saya menyokong penuh pindaan Akta 800 ini kerana saya yakin ini adalah keutamaan KESUMA dan juga kerajaan untuk membela golongan pekerja. Kita pun tahu bukan semua benda kita akan bangkang, benda yang baik kita sokong. Jadi, di sini saya ingin mengambil, menarik perhatian Puan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Menteri berkenaan dengan pindaan yang melibatkan elaun mencari pekerjaan. Saya sokong penuh dengan pindaan tersebut dan saya ingin membawa perhatian Yang Berhormat Menteri berkenaan dengan beberapa isu yang berlegar berkenaan dengan hal ini berkaitan dengan para pekerja bakat-bakat dalam sektor teknologi maklumat, IT dengan izin, sama juga dengan Yang Berhormat Menteri lah.
Kita tahu, Menteri Perdagangan, Tengku Zafrul sering melontarkan, melaporkan minat para pelabur berkenaan dengan sektor IT di negara kita khususnya yang melibatkan pembinaan kemasukan pangkalan data (data center), dengan izin di beberapa buah negeri dan juga dalam satu sektor yang lain melibatkan IT. Jadi, saya mendapat aduan daripada beberapa golongan bakat-bakat ini dari segi kebajikan mereka dalam soal berkaitan juga dengan PERKESO ini. Saya nampak ada banyak masalah-masalah yang bakal dihadapi oleh KESUMA. Kalau Menteri Perdagangan dilihat sebagai jurucakap kepentingan kapitalis dalam negara kita, saya yakin Yang Berhormat Menteri sebagai Menteri Sumber Manusia adalah golongan yang mempertahankan golongan pekerja. Sepatutnya golongan ini diberi perhatian penuh oleh kerajaan dalam keghairahan kita hendak membawa masuk pelabur-pelabur asing yang sudah tentu meminta pelbagai syarat-syarat dilonggarkan yang mana mungkin saya tidak tahu sama ada KESUMA maklum atau tidak dalam rundingan tersebut, kebanyakan syarikat-syarikat IT yang hendak masuk ke negara kita ini sejajar dengan perubahan teknologi semasa, selalunya akan mengambil kira unjuran pengambilan para pekerja baharu dengan kadar yang sebenarnya semakin surut. Apa maksud saya? Maksud saya ialah sepertimana yang dijelaskan oleh Yang Berhormat Bakri dan rakan-rakan yang lain. As time goes by, syarikat-syarikat ini akan mengaplikasikan Artificial Intelligence, dengan izin, Big Data Sciences untuk mengoptimumkan operasi mereka. Jadi, saya ambil contoh, ini aduan yang saya terima daripada salah seorang bekas bekerja di ByteDance yang mengelola TikTok kita. Banyak bakat-bakat IT tempatan telah dibuang kerja baru-baru ini dan ramai staf warga Malaysia di TikTok, di ByteDance Malaysia yang dibuang tidak sepertimana pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk kerana mengikut pandangan mereka kos untuk menggugurkan, membuang pekerja asing dalam usaha untuk mengurangkan pekerja di syarikat- syarikat ini lebih tinggi berbanding kos untuk membuang pekerja-pekerja tempatan. Jadi, apa tindakan kerajaan untuk pastikan pasaran kerja rakyat dalam sektor ini terjamin dalam keadaan banyak syarikat IT hendak masuk melabur di negara kita?
Apakah KESUMA dibawa ke dalam meja rundingan untuk kita mendapatkan pelaburan ini? Mungkin Menteri boleh berkongsi pandangan. Apakah kerajaan― kewajaran, minta maaf― Menteri Perdagangan. Walaupun tidak ada kaitan dengan KESUMA tetapi saya hendak lontarkan juga, membenarkan kemasukan bakat-bakat daripada luar sedangkan banyak bakat-bakat tempatan kita dibuang atau tidak dibawa masuk dalam sektor ini.
Kita pernah dengar Tengku Zafrul kata, hendak masuk pelabur-pelabur ini perlu ada kelonggaran syarat untuk mengambil pekerja asing. Bukan pekerja asing 3D itu tetapi pekerja asing dalam sektor yang tinggi ini, high skill labour. Jadi, ini menimbul tanda tanya di kalangan golongan anak muda yang terlibat dalam sektor IT, keterjaminan mereka sebab berlaku banyak pertukaran atau pembuangan yang menyebabkan mereka perlu kepada sistem insurans pekerjaan ini. Saya hendak tanya juga, mungkin KESUMA ada data, berapa banyak peratus local talent dengan izin dalam bidang sekor IT ini dapat pekerjaan daripada pelaburan-pelaburan yang dibawa masuk ini? Selalunya saya mendapat aduan melibatkan ini, golongan-golongan yang high-flyers dengan izin dalam sektor IT ini mereka diberi syarat seperti macam Mutually Separation Agreement (MSA). Ada juga dalam banyak-banyak kes dalam syarikat-syarikat IT di luar yang mengambil pekerja tempatan kita ini, ada satu dasar seperti bentuk constructive dismissal dengan izin iaitu bila mana syarikat sudah tetapkan dasar dan target sasaran untuk sekian-sekian bulan, syarikat tersebut perlu kurangkan pekerja tempatan sebanyak jumlah ini. Jadi, mereka akan cari jalan untuk menyebabkan pekerja-pekerja tempatan ini di-gred sebagai non-performance dalam appraisal mereka dengan izin dan cari salah supaya mereka ini dapat dibuang daripada syarikat-syarikat tersebut. Jadi, golongan inilah yang akan memerlukan sistem perlindungan sosial pekerja dan juga sistem insurans pekerjaan yang KESUMA bawa. Jadi, saya sokong penuhlah hal ini. Cuma, saya hendak bawa contohnya yang saya berikan tadi. Jadi sememangnya perkara ini akan semakin berleluasa kalau tidak ada keterlibatan KESUMA secara langsung dalam di permulaan kita hendak dapatkan pelaburan. Saya tahu MITI daripada menteri ghairah hendak bawa, hendak tunjukkan angka-angka yang cantik molek itu tetapi janganlah sampai membelakangi masa hadapan anak muda kita hanya kerana hendak menjadi juara dari segi jumlah bilangan (figure) dengan izin, yang mencantikkan ekonomi negara tetapi realitinya pekerja-pekerja tempatan yang high skill ini dengan izin, dibiarkan, dikesampingkan kebajikannya. Yang terakhir Yang Berhormat Menteri KESUMA, tiada kaitan tetapi saya hendak kaitkan juga. Kita bahaskan MAHB baru-baru ini dan saya tahu TalentCorp di bawah KESUMA. Apa kata saya hendak minta jasa baik daripada Menteri KESUMA untuk dapatkan data maklumat golongan bakat-bakat Malaysia yang bekerja di Lapangan Terbang Changi, dapatkan maklumat-maklumat ini dan mungkin boleh berkongsi di Parlimen dan mungkin inilah salah satu penyelesaian untuk kita tidak perlu dapatkan pelaburan GIP BlackRock pro-Zionis itu.
Kerana apa? Mereka ini sudah pun terbukti berjaya menjadikan Changi antara lapangan terbang terbaik. Ini bakat daripada Malaysia. We know vey well, most Malaysians, the talented and brightest ones are the one who developed Singapore because that higher pay di sana. Jadi, mungkin TalentCorp boleh bagi data dan kalau itulah antara penyelesaiannya, mungkin lebih baik, lebih murah berbanding kita jual pegangan saham ini kepada BlackRock atau GIP kerana kita boleh bayar double or triple their salaries untuk bantu tambah baik operasi lapangan terbang kita yang ada di Malaysia. Why work in Changi when you can serve in KLIA with better pay? Makan pun sedap dekat sini, murah lagi berbanding di Singapore. Jadi, mungkinlah Menteri KESUMA lebih ada visi, wawasan untuk membantu Menteri Pengangkutan cari penyelesaian terbaik untuk negara agar tidak kita korbankan prinsip moral kita mempertahankan Palestin dengan menjual saham kepada BlackRock, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Machang. Seterusnya pembahas terakhir untuk RUU ini saya menjemput Yang Berhormat Kepong.
Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Menteri kerana memberi peluang kepada saya untuk...
Timbalan Speaker.
...Timbalan Speaker, ya ― untuk membahas pindaan RUU Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2024 ini. Pindaan RUU ini memberikan perlindungan keselamatan sosial yang lebih baik. Pindaan ini menaikkan had maksimum gaji yang boleh diinsuranskan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan. Dengan perubahan ini lebih ramai pekerja pendapatan tinggi kini layak untuk mendapat perlindungan insurans pekerjaan. Pekerja yang memperoleh lebih daripada RM5,000 sebulan tidak lagi dikecualikan daripada perlindungan ini dan juga memastikan mereka juga mempunyai jaringan keselamatan sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan atau kemalangan. Kedua, pindaan RUU ini memberikan keselamatan kewangan yang lebih baik. Dengan sumbangan yang lebih tinggi daripada majikan dan pekerja dana keselamatan sosial secara keseluruhannya akan meningkat. Peningkatan ini membolehkan keselamatan kewangan yang lebih baik bagi pekerja yang mungkin perlu bergantung kepada faedah keselamatan sosial sekiranya berlaku pengangguran, kehilangan upaya atau kejadian lain yang dilindungi oleh skim tersebut.
Selain itu, dengan lebih banyak pekerja berpendapatan tinggi menyumbang kepada sistem ini kita dapat memastikan kelestarian kewangan sistem insurans pekerjaan. Ini adalah penting untuk memastikan sistem ini boleh terus memberikan manfaat kepada generasi pekerja masa hadapan. Ketiga, RUU pindaan ini memberikan keadilan dan kesaksamaan adalah penting untuk kita menekankan bahawa pengagihan beban kewangan dalam pindaan ini adalah lebih adil. Pekerja berpendapatan tinggi kini mampu menyumbang lebih kepada sistem ini dan ini meningkatkan faktor keadilan dalam konteks keselamatan sosial. Dengan cara ini, beban kewangan diagihkan dengan lebih proportional dengan izin dan adil kepada semua. Pekerja yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi menyumbang lebih banyak dan mengurangkan sedikit beban ke atas pekerja yang berpendapatan rendah. Ini memastikan setiap individu menyumbang mengikut kemampuan mereka menjadikan sistem lebih inklusif dengan izin dan saksama bagi semua pihak. Seterusnya RUU pindaan ini memberikan jaringan keselamatan sosial yang kukuh. Dengan peningkatan sumbangan ini, kita akan mempunyai dana insurans yang lebih besar dan kukuh. Ini memastikan dana tersebut mampu memberi bantuan yang lebih baik yang komprehensif kepada ahli kelas pekerja yang terjejas. Kita tidak mahu melihat mana-mana ahli kumpulan pekerja terabai ketika mereka menghadapi kesukaran. RUU pindaan ini memberi faedah yang lebih baik. Dengan lebih banyak sumbangan, pekerja akan mendapat faedah yang lebih baik seperti bantuan pengangguran yang lebih tinggi, sokongan perubatan yang lebih komprehensif dan bantuan kehilangan upaya yang lebih mencukupi. Ini semua adalah langkah ke arah memastikan kebajikan pekerja lebih terjamin. RUU pindaan ini juga menggalakkan pekerjaan formal. Pindaan ini menggalakkan majikan untuk mematuhi undang-undang dan memastikan pekerja mereka didaftarkan dalam sistem insurans pekerjaan. Dengan adanya pematuhan yang lebih tinggi kita dapat mengurangkan insiden pekerjaan yang tidak formal dan memastikan semua pekerja mendapat perlindungan sewajarnya. Kesimpulan, pindaan ini bukan sahaja membawa manfaat besar kepada pekerja Malaysia tetapi juga memastikan sistem keselamatan sosial kita kekal kukuh dan mampan untuk jangka masa panjang. Oleh itu saya menyeru rakan-rakan Ahli Parlimen sekalian untuk menyokong RUU pindaan atas Sistem Insurans Pekerjaan ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Sekarang saya minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab, masa 20 minit.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Jarak sejengkal sungai nan jernih, Ada pepohon mula bertunas, Asal ditugal ada lah benih, Memberi bayang di tengah panas.
Tidak faham.
Tidak faham? Ini saya rasa merupakan gambaran yang baik untuk apa yang telah dilaksanakan, usaha PERKESO untuk memberikan perlindungan kepada para pekerja di negara kita.
Saya ucapkan terima kasih kepada 19 Ahli Parlimen yang telah berbahas. Penghargaan setinggi-tingginya atas segala pandangan, cadangan malah teguran dan kritikan yang telah diberikan tapi saya boleh simpulkan bahawa kesemuanya Ahli Parlimen di kedua-dua belah telah menyokong pindaan RUU 800 ini, Akta 800 ini sebab ini seperti yang saya nak petik kata-kata Arau, “Adalah demi kepentingan rakyat”. Ini juga menunjukkan bahawa Kerajaan Madani mementingkan rakyat. Arau, jangan dengar telefon. [Ketawa] Dengan kenaikan caruman sebanyak antara 20 sen sehingga RM2 sahaja sebulan, 1.5 juta pekerja akan menikmati kenaikan 20.2 peratus faedah selepas kita meminda akta ini. Saya mengambil maklum beberapa cadangan yang telah dikemukakan. Contohnya ada yang kata had siling RM6,000 ini tak cukup, nak naik lagi. RM7,000, RM8,000, RM10,000. Kita ambil maklum. Ada yang telah memberikan pandangan bahawa tak payahlah nak bawa ke Parlimen setiap kali apabila kita hendak menggerakkan had siling. Cukup sekadar kuasa Menteri seperti peruntukan di bawah undang-undang lain. Ini kita terima baik. Sudah tentu dan saya akan minta KESUMA dan PERKESO untuk mengkaji kebolehlaksanaan strategi-strategi tersebut. Ada yang memberi cadangan agar diautomatikkan. Sekiranya ada pekerja yang telah diberhentikan, bagi automatik. Sebenarnya kalau kita mendapat pemberitaan daripada sesebuah syarikat contohnya ada pemberhentian pekerja. Maka bukan sahaja PERKESO malah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) termasuk kementerian lain seperti MITI, kita akan turun mengambil inisiatif untuk melihat kepada perlindungan pekerja termasuk pelaksanaan ataupun pemberian tuntutan faedah SIP. Ada yang kata beberapa contoh...
Yang Berhormat, minta penjelasan.
Sekejap, nanti saya akan bagi. Ada beberapa contoh spesifik contohnya oleh Jerlun tadi tentang dia pergi, walaupun ini bukan Akta 800, ini Akta 4 tadi. Dia pergi ke rumah majikan dan mendapat accident tetapi tak dapat claim. Sebenarnya saya nak kata dia berhak dapat tuntutan sekiranya itu perjalanan di atas maksud pekerjaan. Saya minta supaya kes-kes spesifik ini ditujukan kepada kita secara terperinci agar kita boleh follow-up. Shah Alam tadi dia kata boleh ke dia claim? Dulu dia pernah kena pemberhentian kerja kerana tebuk atap.
Yang Berhormat Menteri.
[Bangun]
Kalau saya ikut data yang kita ada, rekod yang kita ada, memang YB Shah Alam layak. Jadi, saya minta juga YB Shah Alam untuk datang kemukakan maklumatnya dan kita akan kaji. Kalau layak, sudah tentu akan diberikan apa yang berhak.
Yang Berhormat Menteri, kejadian ini...
Saya akan beri Arau, saya akan bagi.
Tak, yang ini Yang Berhormat. Tadi Yang Berhormat sebut pasal Arau tadi itu. Saya kata biar automatik the system itu. Saya tahu PERKESO memang cepat. Kalau dia dapat maklumat, dia turun tetapi biar sistem itu automatik. Maknanya dia berhenti, secara automatik kita tahu. Bukan dia tunggu dapat maklumat, dia dalam sistem itu dah ada. Itu saya cadangkan supaya pemberhentian ini biar kita ketahui secara automatik. Hari ini dia berhenti, hari ini kita tahu. Macam kami berjanji. Kami berjanji kalau kami memerintah, gaji akan dinaikkan serta-merta bukan tunggu bulan Disember. Sekian, terima kasih. [Tepuk]
Yang Berhormat Menteri, nak tanya sikit. Kejadian yang saya maksudkan ini, dia berlaku sekitar 2008 ke 2009 begitu. Adakah boleh dibuat tuntutan semula?
Saya minta supaya Ahli Yang Berhormat Jerlun memberikan maklumat.
Okey, okey.
Kalau bertepatan dengan syarat-syarat, nescaya kita akan bantu untuk mendapatkan tuntutan.
Okey, okey. Terima kasih.
Saya faham Arau dan saya dah kata ini memang antara cadangan, saranan yang telah diberikan supaya dijadikan automatik dan saya kata kita akan mempertimbangkan segala cadangan ini. Apa yang saya hendak sampaikan ialah walaupun sekarang belum ada automatik tetapi PERKESO dan juga
KESUMA mengambil inisiatif yang agak aktif daripada segi pembelaan hak pekerja termasuk membantu dalam tuntutan Akta 800. Sudah tentu apabila kita berbincang tentang Akta 800 ini, tentang insurans pekerjaan, timbul juga isu-isu tentang pengangguran dan juga kehilangan pekerjaan akibat revolusi AI contohnya yang telah dibangkitkan oleh Bakri dan juga secara tidak langsung oleh Machang. Saya nak bagi tahu di sini ya, walaupun ini Arau sekali lagi. Saya nak petik nama dia, nanti dia bangun lagi. Dia kata banyak pengangguran dan sebagainya dan untuk makluman Dewan yang mulia ini, kadar pengangguran pada hari ini 3.3 peratus. Kita boleh dianggap sebagai berada dalam keadaan pasaran buruh yang ketat ataupun tight labor market dengan izin. Kadar pengangguran masa Arau jadi Menteri, 5.3 peratus. Zaman mereka jadi kerajaan. Tapi itu tak apa, itu perkara yang dah lepas. Sudah tentu apabila kita membawa...
Barang murah.
Kita membawa masuk pelaburan, masalahnya ialah saya dengar kadangkala seakan-akan Machang tidak setuju dengan usaha kerajaan membawa masuk pelaburan, terutamanya syarikat-syarikat high growth high value. Saya nak ingatkan Dewan yang mulia ini, dalam masa sebulan sahaja, tempoh bulan Mei ini, kerajaan telah mengumumkan tiga buah syarikat teknologi gergasi dunia, Microsoft, Google, ByteDance telah mengumumkan pelaburan hampir RM30 bilion. Dalam masa sebulan tahun ini sahaja dan sudah tentu apabila kita kata Kerangka Ekonomi Madani, membawa masuk pelaburan ini bukan sahaja menguntungkan SME dan usahawan tempatan malah menguntungkan rakyat Malaysia, terutamanya daripada segi pekerjaan, gaji lebih baik. Kita faham aspek teknologi ini mungkin akan menyebabkan transisi atau peralihan daripada segi pekerjaan. Walaupun ini bukan tempat untuk berbahas tentang isu ini tetapi KESUMA mempunyai pelbagai program. Contohnya kita tengah membuat laporan kajian impak AI, digitalisasi dan ekonomi hijau ke atas pasaran kerja Malaysia yang dijangka akan siap laporan pertamanya pada bulan September ini dan ini akan membantu bukan sahaja kerajaan malah Ahli Parlimen, pembangkang, syarikat-syarikat swasta, rakyat Malaysia secara amnya untuk membuat strategi dan perangkaan menghadapi impak kesan transisi teknologi ini. Jadi, usah bimbang. Tadi sebut tentang constructive dismissal oleh Machang. Walaupun mereka last tapi saya jawab dulu sebab dia nak merangkumkan keseluruhan Akta 800 ini. No problem. Kalau dibuktikan constructive dismissal, maka pekerja itu adalah layak ke atas tuntutan Akta 800 ataupun SIP. Saya beralih kepada Ahli Parlimen Pendang, Mas Gading dan Gerik yang bertanya tentang tempoh enam bulan. Adakah kita
cadang untuk menaikkan tempoh ini kepada sembilan bulan ataupun setahun terutamanya daripada segi Elaun Mencari Pekerjaan. Untuk makluman, kita menyambut baik cadangan untuk melanjutkan ke arah tempoh enam bulan tetapi walaupun Elaun Mencari Pekerjaan ini hanya terhad kepada enam bulan dan sekarang oleh sebab pindaan ini, kerjasama antara dua-dua pihak dalam Parlimen, kita naikkan 20.2 peratus kepada yang tertinggi. Daripada RM13,365 sedia ada, sekarang naik kepada RM16,065 untuk tempoh enam bulan. Walaupun Elaun Mencari Pekerjaan hanyalah untuk enam bulan tetapi perkhidmatan mencari pekerjaan, dia akan sampai bila-bila. Kalau tidak dapat lagi pekerjaan selepas enam bulan, kita akan bantu terus menerus daripada segi latihan, daripada segi mencadangkan bagi khidmat rundingan dan daripada segi padanan pekerjaan. Khidmat itu juga termaktub dalam Akta 800. Pendang, Tenggara, Gerik dan Kepala Batas menekankan keperluan meningkatkan kaedah siasatan dan penguatkuasaan kes-kes yang dilaporkan. Ini saya dah jawab dalam Akta 4 tadi dan sebenarnya sama. Kita mengambil pendekatan penguatkuasaan, pemeriksaan, pengkompaunan, dakwaan dan sebagainya tetapi utamanya, tujuan kita bukan untuk mendenda dan menghukum. Tujuan kita ialah untuk memastikan para pekerja di negara kita dapat dilindungi di bawah Skim PERKESO. Jadi, tempoh pemutihan dilaksanakan. Sekali lagi saya ingatkan supaya Ahli-ahli Parlimen ingatkan SME-SME, usahawan-usahawan, majikan-majikan di tempat masing-masing. Sampai 30 Jun 2024, tempoh pemutihan, tempoh pengampunan masih lagi berlangsung. Dalam tempoh ini, majikan-majikan yang berdaftar tidak akan dikenakan apa-apa hukuman atau denda. Pendang dan Tenggara juga telah menyarankan agar PERKESO memastikan penerima faedah di bawah Akta 800 mencari pekerjaan bagi memastikan tempoh pengangguran tidak berterusan.
Untuk makluman, di bawah Akta 800 ini, selain daripada faedah elaun, kita juga memberikan pelbagai program rundingan pekerjaan, rundingan kerjaya. Ada bengkel membuat resume, kaunseling kerjaya, profiling bersasar, kita juga menganjurkan program-program karnival dan sesi temu duga sama ada secara online ataupun secara bersemuka di seluruh negara. YB Pendang, rakan lama saya yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia bertanya tentang berapa ramai rakyat yang telah berjaya dibantu dengan Program Penempatan Pekerjaan Semula dan sektor apa yang paling tinggi yang diisi oleh Program Penempatan Pekerjaan Semula sehingga kini.
Saya nak maklumkan, daripada Januari 2024 sehingga Jun 2024, sebanyak 65,674 pekerja telah ditempatkan dalam pasaran pekerjaan negara. Manakala sektor yang merekodkan jumlah kehilangan pekerjaan yang terbesar adalah sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta sektor profesional, saintifik dan teknikal. Dalam usaha menangani isu ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan akademik, KESUMA melalui PERKESO, kita sudah ada platform mencari pekerjaan melalui MyFutureJob contohnya. Ada Program Dana Kerjaya 2.0 yang membabitkan kumpulan sasar di kalangan golongan rentan seperti pesara, warga emas, orang kurang upaya, bekas banduan. Kita juga melaksanakan program Career Launchpad dengan izin bagi meningkatkan persediaan peralihan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta ke alam kerjaya mereka. Pendang, Tenggara dan Shah Alam membangkitkan mohon maklumat jumlah pemohon di bawah Sistem Insurans Pekerjaan dan jumlah permohonan yang telah diluluskan serta bilangan majikan yang terlibat dalam skim ini selepas empat tahun diperkenalkan. Untuk jumlah pemohon di bawah Sistem Insurans Pekerjaan, setakat 20 Jun 2024, PERKESO telah menerima 24,963 permohonan tuntutan kehilangan pekerjaan ataupun dengan izin loss of employment, di mana daripada jumlah tersebut sebanyak 20,661 telah diluluskan. Ini melibatkan pembayaran sebanyak RM127.16 juta. Manakala bilangan majikan yang aktif mencarum di bawah SIP untuk empat tahun kebelakangan ini adalah seperti berikut. Untuk tahun 2021, 456,747 orang majikan, untuk 2022, 505,052 majikan, 2023, 528,730 majikan dan setakat Jun untuk 2024, 537,010 majikan. Adakah disediakan cross training, cross skill training saya anggap apa yang dimaksudkan itu kepada seorang pekerja dalam bidang baru berbanding pekerjaan yang beliau lakukan sebelum diberhentikan. Kalau ikut statistik PERKESO tahun 2023 sehingga Jun 2024, seramai 59,711 pekerja telah diluluskan permohonan kehilangan kerja dan daripada itu, 28,990 telah ditempatkan di pekerjaan dalam pelbagai bidang dan sektor. Jika perlu, saya dah kata di bawah skim SIP ini memang ada khidmat rundingan pekerjaan, khidmat kemudahan latihan kemahiran di mana kita akan melihat kepada kesesuaian, minat dan juga aspirasi seseorang pekerja itu dan mengemukakan sama ada pekerjaan yang sepadan dengan beliau ataupun mengemukakan cadangan untuk mengikuti latihan yang akan diberi subsidi. Seterusnya Yang Berhormat Padang Besar turut bertanya dua soalan. Satu tentang meluaskan skop perlindungan SIP kepada pekerja sambilan dan juga pekerja bekerja sendiri. Untuk masa kini, kalau pekerja kontrak dia tak kira, memang
dia kena bayar ataupun mencarum SIP. Pekerja sendiri pula, sebenarnya kita ada Skim Pekerjaan Sendiri (SPS). Jadi, itu sudah merangkumi apa yang telah ditanyakan oleh beliau. Yang Berhormat Padang Besar juga menanya tentang bentuk upskilling dan reskilling untuk pekerja dalam sektor tidak formal. Dalam Belanjawan 2024, KESUMA melalui PERKESO telah melaksanakan inisiatif Program Bina Kerjaya 2.0 sebagai antara misi untuk memastikan kemahiran dan keberhasilan pekerja-pekerja dalam sektor informal termasuk sektor e-hailing dan p-hailing ini dapat dipertingkatkan. Ini adalah antara usaha kerajaan untuk membantu dalam upskilling dan reskilling. Selamat datang Dato’ Timbalan Speaker. [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) mempengerusikan Mesyuarat] YB Tenggara dan Shah Alam telah mencadangkan agar perlindungan SIP juga diperluaskan kepada sektor gig. Saya secara peribadinya menyambut baik cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat tersebut. Kuala Kedah bertanya soalan tentang kajian kenaikan siling yang dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan apa rasionalnya. Seperti yang saya sebutkan dalam perbahasan Akta 4 tersebut, pertamanya kita ingin memastikan faedah yang diberikan adalah berkadaran dengan gaji pencarum tersebut dan juga dengan keadaan semasa. Keduanya, kita juga tidak terus menaikkan had siling secara mendadak sebab kenaikan had siling akan melibatkan kenaikan kos caruman sama ada kepada pencarum atau pekerja itu ataupun majikan. Jadi, kenaikan untuk Akta 800 ini saya sebut tadi, hanya kenaikan sebanyak antara 20 sen hingga RM2 setiap bulan, yang tidak mendadak tetapi mendatangkan faedah yang besar kepada pekerja. Kuala Kedah juga bertanya benda yang sama tentang selepas enam bulan. Kita akan mengkaji sama ada kemampuan untuk memberikan faedah elaun mencari pekerjaan selepas enam bulan. Tetapi setakat ini sememangnya walaupun selepas enam bulan kita mempunyai perkhidmatan pekerjaan yang akan terus dihulurkan sehingga seorang pekerja itu mendapat pekerjaan yang diidaminya. Dan untuk makluman, kita ada lebih kurang 800 Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan dengan 54 cawangan PERKESO dengan lebih 200 pejabat satelit, di mana para pekerja dan pencarum boleh mendapatkan khidmat rundingan terutamanya dalam aspek mendapatkan pekerjaan. Kuala Kedah turut bertanya statistik penerima bagi fi latihan untuk upskilling dan reskilling. Adakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan elaun latihan
tersebut? Untuk makluman, bermula dari 2018 sehingga Jun 2024, sebanyak 15,575 penyedia latihan telah menerima fi latihan untuk upskilling dan reskilling yang melibatkan bayaran sebanyak RM41.8 juta. Manakala seramai 11,107 individu telah menerima elaun latihan yang melibatkan bayaran sebanyak RM1.04 juta. Pada masa ini, elaun latihan yang ditetapkan dibayar kepada penerima latihan adalah sebanyak RM10 hingga RM30 sehari, ya sehari. KESUMA serta PERKESO dalam proses untuk memperhalusi perkara ini agar jumlah bayaran elaun ini dapat diselaraskan berdasarkan dengan keadaan semasa.
Penjelasan.
[Bangun]
Yang Berhormat Jerlun telah bertanya, adakah majikan terikat untuk mencarum kepada pekerja asing? Jawapannya, saya dah sebut dalam teks asal perbahasan saya, pembentangan saya bahawa pekerja asing tidak termaktub dalam Akta Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800). Masa saya sudah tamat tetapi saya rasa ada dua orang Ahli Parlimen yang nak mencelah. So, saya petua Speaker.
Sedikit saja Yang Berhormat, nak menyokong.
Yang Berhormat Menteri, floor adalah floor Yang Berhormat. Saya boleh memberi pertimbangan. Jika Yang Berhormat tidak mahu menjawab dan hanya menjawab bertulis pun boleh.
Memandangkan kedua-dua Ahli Yang Berhormat ini merupakan rakan saya yang saya kasihi, saya mohon supaya diberikan peluang untuk mereka mencelah sekejap setiap seorang dan kemudian saya akan gulung.
Baik, saya silakan.
Yang Berhormat. Yang pertama, Yang Berhormat kena ingat bahawa rang undang-undang ini disokong. Yang Berhormat kalau tanya sat lagi, bukan kata majoriti menyokong, 100 percent sokong rang undang-undang ini. Cuma, kami minta penjelasan. Yang Berhormat pun telah bagi jawapan. Cuma, Yang Berhormat, kami ini bukan anti pelaburan. Kami hendak supaya pelaburan yang masuk itu disertai dengan penyertaan orang tempatan. Dari segi kepakaran IT, Yang Berhormat, orang-orang tempatan di antara yang terbaik di dunia, Yang Berhormat. Jadi, jangan― kalau boleh, tetapkan syarat, pelaburan yang
masuk sebanyak RM30 bilion itu, dia disertai sekurang-kurangnya 50 peratus oleh orang-orang tempatan. Yang Berhormat, keduanya ialah Yang Berhormat menyebut RM30 bilion. Saya seronok ini macam hendak melompat seronok. Tetapi, saya hendak tanya, dari segi actual pelaburan, berapa yang telah masuk daripada RM30 yang telah diumum itu? Sebab, Yang Amat Berhormat PMX pun sebut pelaburan RM170 bilion. Satu tiang pun belum masuk lagi. Jadi, Yang Berhormat, yang RM30 bilion ini, berapa banyak actual pelaburan yang telah masuk? Terima kasih. Kalau Yang Berhormat hendak jawab bertulis pun tidak mengapa, sebab benda ini kita dah seronok dah, kita hendak selesaikan secara elok- elok. Yang Berhormat, supaya apabila orang berhenti, secara automatik mereka tahu mereka telah berhenti dan PERKESO akan buat pampasan.
Sedikit, Yang Berhormat Menteri. Macam kita pun maklum dalam sektor pelaburan IT, kebanyakan operasi syarikat-syarikat ini berteraskan automation, dengan izin. Jadi, tiada keperluan untuk mereka mengambil pekerja-pekerja secara fizikal, perseorangan. Jadi, bagaimana dari segi keterjaminan peluang pekerjaan untuk orang-orang tempatan, bakat-bakat kita? Supaya kita tidak, dengan izin, short-change our talents hanya kerana kita hendak tarik pelabur-pelabur seperti Google, Microsoft itu. Jadi, saya yakin Yang Berhormat Menteri boleh memperjuangkan kepentingan pekerja tempatan berbanding dengan MITI. Terima kasih.
Terima kasih kepada kedua-dua rakan saya. Saya hendak beri jaminan. Usah bimbang, Arau. Pelaburan sudah diumumkan dan pengumuman ini bukan setakat pengumuman oleh kerajaan. Kalau kerajaan, mungkin pembangkang dia apa-apa pun, dia hendak bangkang. Tetapi, pengumuman yang dilakukan sendiri oleh syarikat-syarikat gergasi. Tadi saya bagi contoh RM30 bilion itu. Tiga buah syarikat gergasi teknologi dunia yang besar telah membuat pengumuman dalam masa sebulan. Jadi, usah khuatir, usah gusar. Saya yakin dengan rakan saya di MITI dan kita sentiasa berkomunikasi untuk memastikan kita sejajar, di mana apabila peluang pelaburan masuk ke dalam Malaysia, peluang pekerjaan juga lebih lumayan. Bukan sahaja dari segi bilangan jumlah pekerjaan yang lebih banyak, tetapi yang paling penting sekali, pekerjaan yang lebih berkualiti iaitu pekerjaan yang memberikan, contohnya pampasan, upah dan gaji yang lebih tinggi dan sebagainya. Akhir sekali, saya hendak gulung dan saya ada beberapa lagi yang saya belum sempat jawab, saya minta untuk diberikan secara bertulis. Tetapi, saya hendak mengakhiri penggulungan saya dengan merakamkan, pertama sekali, setinggi-tinggi
terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini atas konsensus sebulat suara untuk menyokong dua pindaan kepada Akta 4 dan sekarang Akta 800. Ini menunjukkan bahawa kematangan Dewan Rakyat, kematangan Parlimen Malaysia bahawa kita ketepikan politik demi, apa yang Arau katakan tadi, kepentingan rakyat. Terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat. Keduanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga PERKESO yang sememangnya sejak saya menjawat jawatan ini telah berusaha bersungguh-sungguh dari segi melaksanakan tanggungjawab mereka dari segi melaksanakan penambahbaikan yang berkala. Saya nampak cadangan-cadangan penambahbaikan yang diberikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Parlimen ini sebenarnya banyak telah pun dikemukakan secara dalaman. Sudah tentu kita perlu melihat kepada keupayaan dari segi kewangan, keupayaan dari segi sistem dan sebagainya. Tetapi, apa yang hendak saya katakanlah ialah usaha PERKESO dan warga PERKESO ini wajar mendapat satu pengiktirafan daripada Ahli-ahli Parlimen. Akhir sekali, sekali lagi saya tamatkan perbahasan saya dengan serangkap pantun. Air di cerek sudah meruap, Biarkan sejuk jangan direntap, Bantu menjaga nasi sesuap, Kekalkan rumah tetap beratap. Tapi, jangan tebuklah. Terima kasih.
Yang Berhormat Menteri dapat daripada pakar sebelah itu ke? [Ketawa] Baik. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibaca kali yang kedua sekarang. [Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) mempengerusikan Jawatankuasa] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG SISTEM INSURANS PEKERJAAN (PINDAAN) 2024 Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga — Fasal-fasal 1 hingga 4 –Bill
Yang Berhormat Pengerusi, fasal 3. Saya minta perkataan― ini saya kena bagi notis, tetapi tidak sempat bagi notis, Yang Berhormat. Supaya “Melebihi RM6,000” itu dibenarkan. Sekarang sampai RM6,000. Walaupun gaji dia RM10,000, dia dikira setakat RM6,000. Saya minta di sini apabila gaji melebihi RM6,000 itu diteruskan carumannya berdasarkan pendapatan dia. Terima kasih.
Yang Berhormat Menteri.
Saya ambil itu sebagai satu cadangan. Tetapi, untuk setakat ini, kita hadkan kepada maksimum RM6,000. Terima kasih.
Baik. [Fasal-fasal 1 hingga 4 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang-undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan) dan diluluskan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG KECEKAPAN DAN KONSERVASI TENAGA 2023 Menimbang Pindaan Yang Dibuat Oleh Dewan NegaraBill
Ini jarang- jarang berlaku. Ini mungkin jadi sejarah. Pasal tahun 2004, kalau tidak silap saya, pernah berlaku begini, di mana rang undang-undang dihantar balik ke Dewan Rakyat untuk dipertimbangkan. Ahli-ahli Yang Berhormat, Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 telah dipersetujui oleh Dewan Negara dengan pindaan kepada fasal 1. Saya telah menimbangkan pindaan ini di bawah Peraturan Mesyuarat 73(1) dan saya mendapati bahawa pindaan itu adalah menepati tujuan Dewan ini dan hanya melibatkan satu fasal sahaja. Oleh yang sedemikian, saya dengan ini memaklumkan
kepada Majlis akan hal itu dan memohon Majlis memerintahkan supaya pindaan ini terus dipertimbangkan. Saya minta Yang Berhormat Menteri mengemukakan pindaan tersebut. Sila, Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua. Saya memaklumkan bahawa Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 ini telah diluluskan oleh Dewan Negara dengan pindaan kepada fasal 1(3). Dengan itu, pindaan kepada fasal 1(3) iaitu akta ini hendaklah terpakai bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dan tidak memberi implikasi kepada lain-lain kandungan di dalam rang undang-undang ini.
Dato' Yang di-Pertua, pindaan kepada fasal 1(3) rang undang-undang yakni RUU bertujuan untuk memperuntukkan bahawa pindaan ke atas fasal 1(3) RUU adalah selari dengan klausa-klausa dalam Akta Suruhanjaya Tenaga 2021 dan Akta Bekalan Elektrik 1990, di mana penggunaannya tertangguh kepada negeri Sarawak. Dalam menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak, kuasa autonomi negeri Sarawak dalam bidang elektrik dan kepelbagaian sumber tenaga yang ada di Sarawak perlu dikekalkan dalam memastikan hak-hak negeri Sarawak dilindungi. Manakala negeri Sabah dikecualikan daripada pemakaian dan penguatkuasaan RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga, memandangkan kuasa kawal selia bekalan elektrik berada di bawah bidang kuasa negeri Sabah mulai 3 Januari 2024. Selain itu, pengurusan kecekapan tenaga elektrik telah pun diperuntukkan di dalam Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan akan dikuatkuasakan melalui Peraturan- peraturan Tenaga Elektrik Dengan Cekap 2024. Di samping itu, Energy Commission of Sabah (ECoS) sedang merangka, dengan izin, Sabah Energy Efficiency Action Plan yang merupakan satu inisiatif strategik yang telah dikenal pasti di dalam Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040). Cadangan pindaan kepada fasal 1(3) RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga akan menjelaskan dan menghormati hak-hak negeri Sabah dan Sarawak serta hanya terpakai kepada Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah pindaan ke atas Rang Undang-
undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 yang dibuat oleh Dewan Negara mengikut Peraturan Mesyuarat 73(1) terbuka untuk dibahas. Saya menerima tiga pembahas daripada Yang Berhormat. Baik. Kita terus dengarkan dengan pembahas. Yang Berhormat Tuaran dibuka untuk berbahas. Diikuti dengan Yang Berhormat Petaling Jaya dan Yang Berhormat Pasir Gudang selama lapan minit seorang. Dipersilakan Yang Berhormat Tuaran.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Tuaran untuk membahaskan pindaan Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023. Rang undang- undang ini yang hanya terpakai untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Langkah ini adalah bertepatan dengan pindaan-pindaan yang kita telah buat sebelum ini iaitu hal-hal yang berkenaan dengan bekalan elektrik bagi Sabah, telah diserahkan balik kepada Sabah dan hal-hal yang terkandung dalam rang undang- undang ini nanti akan diserapkan dalam Enakmen Bekalan Elektrik Sabah yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah selepas ini. Mudah-mudahan. Dato' Yang di-Pertua, apa yang saya ingin bahaskan dalam pindaan ini ialah tentang pendanaan peruntukan yang akan digunakan untuk suruhanjaya yang akan ditubuhkan ini iaitu Suruhanjaya Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023. Tentunya ini akan melibatkan perbelanjaan yang baharu dan tentunya akan ada bajet daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan ini, untuk urus tadbir agensi yang baharu ini sebab ini lain daripada Suruhanjaya Tenaga yang sedia ada. Persoalan yang saya bawa ialah apabila ada peruntukan, ada bajet untuk agensi yang baharu ini, apakah nanti peruntukan yang setimpal yang digunakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah yang akan mengendalikan nanti hal-hal berkenaan dengan apa-apa juga peruntukan yang ada di dalam rang undang-undang ini? Apakah nanti akan dibagi kepada Sabah daripada bajet Persekutuan setiap tahun? Ini adalah penting untuk keadilan dari segi pengagihan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Tuaran ingin membangkitkan perkara ini kerana baru-baru ini apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berada di Sabah dan merasmikan sambutan Tadau Kaamatan di KDCA dan apabila bercerita tentang hal-hal berkenaan dengan hak Perlembagaan Sabah untuk mendapatkan 40 peratus daripada jumlah pungutan hasil Persekutuan dari Sabah, beliau telah menyatakan bahawa apa yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan pada Sabah sekarang ini yang berjumlah RM16 bilion adalah melebihi daripada 40 peratus.
Apabila selepas itu ada kawan-kawan, rakan-rakan yang telah meminta perincian, apakah komponen-komponen dalam RM16 bilion itu, maka telah dijelaskan bahawa RM7 bilion daripada RM16 bilion itu adalah emolumen ataupun gaji kakitangan Persekutuan yang menjalankan tugas di Sabah. Lepas itu, ada lagi RM1.5 bilion yang termasuk dalam capitation grant untuk penyelenggaraan jalan raya dan sebagainya dan selepas itu, barulah ada lagi RM6 bilion iaitu peruntukan pembangunan yang telah diluluskan sebagai pembangunan tahunan Sabah, khususnya dalam bajet tahun ini 2024 dan oleh itu dijumlahkan sampailah RM16 bilion. Tapi Tuan Yang di-Pertua, yang RM7 bilion untuk emolumen kakitangan Persekutuan yang berada di Sabah tentunya jauh lebih rendah berbanding dengan emolumen kakitangan Persekutuan yang bertugas dari Perlis sampai ke Johor. Jadi, tidak wajar untuk diungkit. Ya, tidak wajar untuk dikatakan bahawa ini sebahagian daripada pemberi Persekutuan kepada Sabah. Itu bukan pemberian. Itu adalah operasi negara kita untuk berjalan dengan baik. Jadi, tidak harus diungkit. Okey, lepas itu capitation grant yang RM1.5 bilion, itu memang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, capitation grant. Dia adalah merupakan hak Perlembagaan Sabah. Jadi, tidak wajar diungkit. Tidak wajar langsung tapi diungkit. Lepas itu, yang RM6 bilion untuk bajet pembangunan tahunan yang kita diluluskan oleh Dewan yang mulia ini. Orang Sabah memang terkilanlah sebab memang setiap tahun daripada RM6 bilion itu yang dapat dilaksanakan tidak sampai RM2 bilion. Selebihnya dikembalikan. Selepas itu, diungkitlah pula. Jadi, sebab itu kita mengatakan bila kita sampai kepada penubuhan satu agensi baharu yang akan hanya beroperasi di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, kita sangat prihatin. Kita sangat prihatin, apakah nanti dalam bajet itu katakan dilulus RM10 untuk bajet, untuk agensi baharu ini, berapakah pula nanti akan diberi kepada Sabah? Sebab dia akan menjalankan tugas yang sama dan sumber kewangan daripada supaya kita di seluruh negara juga. Ini sesuatu kelompangan dalam urus tadbir kewangan yang perlu dilihat barangkali Dato' Yang di-Pertua, sebab ini sudah berlaku dalam hal-hal urus tadbir air. Apabila Persekutuan telah menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang hanya beroperasi dari Perlis sampai ke Johor dan Sabah tidak ada suruhanjaya perkhidmatan air. Begitu juga dengan Sarawak. Maka, apabila ada bajet diberikan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), tidak ada corresponding bajet yang diberi untuk Sabah dan Sarawak. Itu bererti kita kerugian. Yang kita dapat diberikan adalah dalam bentuk pinjaman. Jadi, itu yang kita merasakan macam kita dianak tiri lah. Sebab bila urus tadbir air, kita ini diberi pinjaman, hanya kerana air itu adalah hal negeri.
Tetapi di Semenanjung, juga hal negeri. Cumanya, ada satu agensi besar yang mengurus tadbir hal air untuk seluruh Semenanjung. Jadi, sepatutnya apabila tidak ada suruhanjaya itu berada di Sabah, corresponding budget seharusnya diberi kepada Sabah. Ini sangat kritikal sebab apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri datang ke Sabah dalam usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah, di UMS diumumkan RM300 juta untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah tapi sehingga pada hari ini, yang RM300 juta itu tidak tahu untuk apa RM300 juta itu. Sudah sampai lebih setahun. Saya difahamkan ada dia punya perjanjian pinjaman tetapi oleh kerana tidak tahu apa yang sebenarnya mahu dibuat. Jadi, dalam keadaan begitu. Jadi, kita tidak mahu dalam keadaan nanti, institusi baharu yang ditubuhkan ini, yang merujuk kepada hal-hal kecekapan, efficiency dan konservasi tenaga, kita melalui perkara yang sama. Bila kita perlu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan nanti dia cakap, “Untuk you, pinjaman”. Dari Perlis ke Johor, semua geran. Itu tidak adillah. Saya sebut ini juga Dato’ Yang di-Pertua sebab dalam keadaan sekarang, dalam keadaan sekarang, di mana hal bekalan elektrik sudah diberi kepada Sabah. Setelah diberi kepada Sabah, sehingga pada hari ini dan dalam masa tujuh tahun akan datang...
Yang Berhormat, sila gulung.
...Kita masih bergantung untuk mendapat tarif support subsidi daripada Kerajaan Persekutuan tetapi hari ini pun kita tidak tahu. Unless, sekarang ini kita mahu memohon hampir satu— tambahan lima ratus lebih juta lagi. Kepada siapa kita minta itu? Kepada Kementerian Kewangan kah atau kepada Kementerian Peralihan Tenaga atau pada siapa? Ini pun tidak dapat— tidak jelas. Ini juga satu kelompangan dalam urus tadbir yang saya ingat perlu diperjelaskan pada ketika di mana...
Yang Berhormat.
...Kita sangat-sangat memerlukan... [Disampuk] Ya?
Saya minta mencelah sikit.
Yang Berhormat, saya tidak benarkan. Tumpat, Yang Berhormat Tumpat.
Okey, jadi saya mahu gulung, simpulkan perbahasan saya, Dato’ Yang di-Pertua bahawa saya menyokong, memang menyokong. Ini baik untuk negara. Ini ada banyak kebaikan dia dan kita mahu di Sabah pun akan dibuat begini. Apa yang ada di sini. Ini sangat-
sangat hebat sebenarnya. Ini straightforward baik untuk kita maju. Kita menyokong, ya. Cumanya, bila nanti ini dilaksanakan di Sabah, itu sahajalah, yang peruntukan itu. Kita sangat sensitif dengan itu sebab memang, memang kita memerlukan dan pengalaman-pengalaman yang lalu. Hal air, selepas itu hal penyerahan bekalan elektrik di Sabah dan sebagainya, itu kita ambil iktibar ya. Kita ambil iktibar. Terakhir, sebagai penggulungan juga, harus diingat dan ini saya sudah sebut beberapa kali di Dewan yang mulia ini bahawa beberapa agensi lain, jabatan yang hanya beroperasi di Semenanjung seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung, Jabatan Veterinar Semenanjung, Jabatan Perikanan Semenanjung, Jabatan Pertanian Semenanjung dan sebagainya. Kesemua ini dapat bajet. Semua dapat bajet untuk di sini sahaja. Dari Perlis-Johor tapi a corresponding budget untuk semua agensi seperti untuk Sabah dan Sarawak, it’s not quite there. Ini perlu kita buat demi untuk memastikan agar Sabah dan Sarawak mendapat keadilan dari segi peruntukan- peruntukan kepada sektor-sektor yang sangat-sangat kritikal; pertanian, haiwan, hal perikanan dan sebagainya supaya kita dapat sama-sama maju sebagai sebuah negara yang berdaulat. Saya mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tuaran. Ambil maklum Yang Berhormat, kita waktu sampai 5.30 petang sahaja. Tidak ada usul dan saya paling kuat, boleh kuat, tambah 15 minit sahaja, ya. Jadi, dengan izin, stick to the debate. Saya persilakan Yang Berhormat Petaling Jaya. Tidak ada? Maaf, Petaling Jaya yang kedua. Jika tidak ada, saya persilakan Yang Berhormat Pasir Gudang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato’ Timbalan Yang di-Pertua. Kita membahaskan rang undang-undang yang sangat penting ya iaitu Rang Undang- undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 dan daripada ini kita lihat bahawa akta ini disebut, “Hendaklah terpakai bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.” Ertinya, RUU ini ialah untuk Parlimen menggubal satu akta yang baharu. Sebelum ini tidak ada akta. Jadi, ini satu langkah yang progresif, maju ke depan. Negara kita sebuah negara yang terlibat dalam perdagangan, dalam perusahaan. Seperti yang kita tahu, tenaga adalah penting. Energy adalah penting. Negara kita perlu ada satu akta yang untuk mewujudkan kecekapan dalam sektor guna tenaga
ini sebab walaupun kita pengeluar petroleum dan gas asli, mungkin beberapa tahun akan datang akan habislah. Jadi, kita kena ada satu akta, ada suruhanjaya yang punca kuasanya ada daripada akta ini nanti untuk menyelia. Mungkin pada permulaannya, kuat kuasa akta ini nanti diguna di Semenanjung dan di Wilayah Persekutuan Labuan. Kita menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah konsep federalism iaitu hak Wilayah Sabah dan Sarawak mengendalikan soal tenaga elektrik dan sebagainya. Saya melihat perkara ini penting, khususnya di Semenanjung, di selatan tanah air kita. Saya bermula dengan kawasan Pasir Gudang. Pasir Gudang adalah kawasan industri yang besar. Dalam Daerah Pasir Gudang ada dua Parlimen; Parlimen Pasir Gudang dan Tebrau. Di sinilah terkumpulnya, terletaknya industri-industri berat petrokimia dan sebagainya yang menggunakan tenaga petroleum dan gas, elektrik yang sangat banyak. Di Pasir Gudang ini, ada jana kuasa (power plant) untuk menjana elektrik ke national grid iaitu talian tenaga elektrik yang menggunakan gas asli dan satu lagi institusi, badan yang besar yang banyak menggunakan tenaga, khususnya elektrik ini adalah Pelabuhan Johor di Pasir Gudang. Tidak jauh daripada Pasir Gudang ini, kita ada kawasan yang sedang membangun yang menggunakan tenaga elektrik yang cukup besar iaitu di Pengerang. Di Pengerang, sedang wujud, sedang beroperasi Kompleks Petroleum dan Gas yang dikendalikan oleh Rapid Petronas. Selain daripada itu, di Pengerang juga ada Terminal Laut Dalam iaitu di tengah-tengah laut itu dibina loji-loji penapis minyak daripada minyak mentah menjadi minyak petrol dan sebagainya termasuk diesel. Di Pengerang itu, terdapat kawasan industri iaitu suatu hab petrochemical, kilang-kilang petrochemical. Jadi, di Pengerang juga menggunakan kuantiti tenaga yang sangat besar.
Sekarang kita tidak ada undang-undang bagaimana kerajaan melalui agensi suruhanjaya ini untuk mengenal, memastikan kecekapan tenaga ini dapat dikendalikan. Ada disebut di situ konservasi, maknanya kita hendak mengawal supaya tiada pembaziran. Kita hendak penggunaan tenaga itu cekap. Kemudian, di Selatan Semenanjung juga iaitu di kawasan Gelang Patah. Di Gelang Patah ada jana kuasa elektrik yang besar power plant Tanjong Bin iaitu mengeluarkan elektrik menggunakan arang batu yang kita tahu telah sekian lamanya mendatangkan kesan pencemaran udara sekitarnya. Di Gelang Patah itu juga terdapat Pelabuhan Tanjong Pelepas. Jadi, kawasan yang saya sebut ini, di Selatan Semenanjung ini iaitu kawasan-kawasan yang memerlukan jumlah tenaga yang amat besar dan kita tidak tahu setakat ini bagaimana prestasi kecekapan. Adakah
pembaziran boleh berlaku tanpa terkawal? Jadi, RUU ini boleh membantu kita menjimatkan sumber tenaga ini. Satu perkara lagi yang saya ingin menambah akhir sekali Tuan Yang di-Pertua iaitu kita berjiran dengan Singapura. Singapura telah mengadakan kerjasama dengan Indonesia untuk menjana tenaga yang boleh renewable, tenaga solar umpamanya. Antara Singapura dengan Indonesia di kepulauan di bawah Singapura di Batam, Riau dan sebagainya. Tetapi dalam hal ini kita Malaysia ketinggalan dalam kerjasama untuk mewujudkan penjanaan tenaga boleh ganti ini daripada solar ini. Jadi, sekiranya perkara ini kita teliti semuanya, jadi, Semenanjung ini dikelilingi oleh laut dan kita mempunyai sumber-sumber untuk menghasilkan tenaga khususnya tenaga boleh ganti (renewable energy) ini. Dengan kerana itu, saya menyokong sangatlah Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 ini yang dibawa balik daripada Dewan Negara balik semula ke Dewan Rakyat ini kerana untuk memastikan kita mengikuti peruntukan Perlembagaan iaitu yang disebut dalam fasal 1(3). Sekian, Tuan Yang di-Pertua. Saya menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang. Sekarang saya mempersilakan Menteri untuk menjawab dalam 10 minit.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Seperti yang telah dinyatakan tadi perkara ini merupakan satu sejarah. Yang terakhir sekali tahun 2004 berlakunya akta itu dikembalikan kepada Dewan Rakyat. Maka, sebab itu dari segi perbahasan, tahun lepas kita telah pun membahaskan untuk peringkat bacaan kali yang kedua. Namun, mengambil kira kepada Yang Berhormat Tuaran dan juga Pasir Gudang telah menyatakan beberapa perkara, mungkin elok juga saya cuba membantu menerangkan lebih lanjut walaupun perkara yang dibangkitkan itu mungkin tidak spesifik kepada pindaan yang kita nyatakan pada hari ini. Jadi, sebab itu untuk Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga, tumpuannya adalah kepada penggunaan. Maksudnya, RUU ini akan melihat kepada bagaimana untuk kita mengikat mereka yang menggunakan tenaga yang banyak. Kalau di sini ditakrifkan adalah 21,600 giga joule bagi tempoh 12 bulan ataupun anggarannya iaitu sekitar RM2.4 juta bil elektrik mereka. Bila disemak, anggarannya mereka yang akan terkesan dengan akta ini adalah sekitar 1,500 pengguna terbesar tenaga. Dalam akta ini terpakai untuk kita pastikan bangunan-bangunan yang melebihi kapasiti tertentu juga untuk kita mula pantau secara lebih rapat. Maka sebab itu dari
segi penggunaan akta ini, sebenarnya akta ini tidak mewujudkan mana-mana agensi yang baharu, kawal selianya masih di bawah Suruhanjaya Tenaga yang memang telah wujud sedia ada. Dalam menerangkan pula dari segi perbelanjaan ataupun peruntukan, Suruhanjaya Tenaga sebenarnya tidak menerima peruntukan daripada kerajaan. Mereka ini sebagai regulator, dengan izin ataupun pengawal selia menguruskan perkara tersebut mengikut kesesuaian dari segi fi dan sebagainya tetapi sebenarnya tidak ada peruntukan daripada kerajaan bila kita tubuhkan Suruhanjaya Tenaga tersebut. Maka sebab itu dalam pindaan ini, kita mengambil semangat ataupun pemahaman bahawa di negeri Sabah dan Sarawak mengguna pakai akta ataupun ordinan mereka tersendiri. Maka sebab itu dari segi kawalan penguatkuasaan perlunya kita melakukan pindaan ini supaya tidak berlaku pertindihan dan juga menghormati kedudukan Perlembagaan Malaysia. Jadi sebab itu, dalam isu bagaimana agensi kalau sebagai contoh apabila Sabah dikeluarkan daripada mengguna pakai akta ini, Sabah sebenarnya telah pun menubuh kawal selia komisen seperti mana Suruhanjaya Tenaga yang disebut tadi ECOS. Maka, sebab itu dari segi garis panduan ataupun bagaimana ECOS itu berfungsi itu tertakluk kepada undang-undang yang telah dibawa oleh Kerajaan Negeri Sabah. Dari sudut yang lebih bagi saya kerana perkara ini untuk mengingatkan betapa pentingnya apabila akta ini kita kuatkuasakan, sasaran kita bila RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga diguna pakai, insya-Allah maksudnya negara secara keseluruhan akan melakukan penjimatan bil utiliti sebanyak RM97.1 bilion. Ini sebagai perbandingan atau penjimatan tenaga sebanyak 2,017 juta giga joule ataupun sebagai perbandingan juga 197,877 kilo tan carbon dioxide ataupun karbon dioksida yang kita berjaya hindarkan iaitu kita mengelak daripada kita menghasilkan CO2 itu. Sebab itu yang disebut oleh Yang Berhormat Pasir Gudang, perkara ini juga sebenarnya kita melihat kerangka tenaga yang lebih luas iaitu untuk mengurangkan kesan karbon itu. Terakhir sekali, sebagai perbandingan apabila RUU ini terguna pakai kita boleh membandingkan bahawa kesannya adalah serupa pertumbuhan RM8.24 bilion pokok selama tempoh 10 tahun. Jadi, sebab itu sementara negara telah pun mempunyai pelan yang agak khusus dalam menguruskan sektor tenaga iaitu sebagai contoh road map kepada National Energy Transition Road Map (NETR). Dalam NETR itu, enam komponen yang utama salah satunya itu adalah kecekapan tenaga. Sebab itu dalam menguruskan masa depan negara kita, yang disebut tadi dari segi penjanaan, sektor penjanaan kita tengok bagaimana hendak
tingkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang disebut RE dan sebagainya. Tetapi sektor penggunaan kita hendak tingkatkan kecekapan dan penjimatan dari segi menggunakan tenaga tersebut. Jadi, maka sebab itu RUU ini pun kita telah teliti di peringkat Dewan Rakyat. Maka, dengan itu saya berterima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Tuaran dan juga Pasir Gudang yang menyertai perbahasan ini. Saya memang target masa itu biar on time. Kalau tidak Dato’ Speaker, dia terpaksa bagi dia punya petua yang agak panjang tadi. Jadi, saya ambil masa Dato’ Yang di-Pertua. Maka, kita boleh selesaikan Majlis pada hari ini dengan baik. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Sebagai mana yang Yang Berhormat Menteri telah menyatakan tadi punca kuasa adalah Peraturan 73(1) dan Peraturan Perbahasan 74(3). Walau bagaimanapun subjected to Peraturan 36(1). Saya tidak mahu menegur tadi. Kalau diimplikasikan Peraturan 36(1) itu kerana masa. Peraturan telah tetapkan Dewan 5.30, jadi kita kena 5.30. Baik, hanya boleh extend 15 minit je tanpa usul. Ahli-ahli Yang Berhormat sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa pindaan ke atas Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 yang dibuat oleh Dewan Negara mengikut Peraturan 73(1) hendaklah dipersetujukan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Ini adalah keunikan ya bila Dewan Negara tolak balik ke Dewan Rakyat, tidak melalui proses dua dan tiga ya. Baik, Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguh sehingga 10.00 pagi, hari Rabu, 26 Jun 2024.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.31 petang]
Kamar KhasSpecial Chamber
[Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy (Kalabakan) mempengerusikan Mesyuarat]
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Masalah Projek Pengairan Kawasan Sawah Kampung Sepat, KuantanSpecial Chamber
Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membawa perhatian kepada Yang Berhormat Menteri berkenaan masalah projek pengairan dan saliran di Skim Pengairan Paya Sepat, Kuantan. Projek ini merupakan Projek Membina dan Menaik Taraf Infrastruktur Pengairan dan Saliran bagi kawasan sawah di Kampung Sepat yang berkeluasan sekitar 180 ekar.
Merujuk kepada papan tanda projek di lokasi tersebut, tarikh mula ialah pada 9 Mei, 2022 dan jangkaan tarikh siap pada 8 November, 2023. Namun sehingga hari ini projek ini masih belum disiapkan sepenuhnya dan belum digunakan setelah melebihi enam bulan daripada tarikh jangkaan disiapkan. Persoalannya adakah projek ini telah diberikan tempoh lanjutan (EOT) untuk disiapkan? Dan jika berkaitan berapakah tempoh lanjutan yang diberikan?
Kami mendapat aduan daripada penduduk kampung yang terkait dalam projek tersebut di mana terdapat masalah teknikal dari sudut aras longkang konkrit yang baru dibina lebih tinggi berbanding aras air di kolam takungan. Tinjauan kami di lokasi tersebut mendapati dakwaan tersebut berasas. Keadaan ini menyebabkan air dari kolam takungan tidak dapat dialirkan ke longkang saliran.
Persoalannya adakah kajian awal reka bentuk sistem pengairan di kawasan ini dilaksanakan sebelum projek dimulakan dan mengambil kira aras air kolam takungan? Apakah jaminan longkang saliran yang dibina tersebut akan berfungsi secara baik dan efektif bagi keseluruhan kawasan yang meliputi empat blok iaitu Blok A, B, C dan D? Apakah kaedah yang dapat digunakan bagi memastikan air daripada kolam takungan dapat dialirkan ke longkang saliran?
Berdasarkan pemerhatian kami, suatu mekanisme perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem pengairan ini dapat berfungsi dengan efisien iaitu dengan memasang rumah pam supaya air daripada kolam takungan boleh disedut dan disalirkan ke longkang saliran. Namun, saya tidak pasti adakah fasiliti rumah pam ini
di kawasan kolam takungan akan dibina dan termasuk dalam projek ini? Sekiranya pembinaan rumah pam tersebut dalam projek ini, adakah ia melibatkan kos tambahan? Saya mohon dinyatakan garis masa projek ini akan disiapkan sepenuhnya sehingga ia boleh digunakan oleh pemilik pesawah.
Tuan Yang di-Pertua, semasa sesi pertemuan dengan penduduk kampung, mereka memaklumkan bahawa mereka tidak dipanggil untuk berbincang mengenai projek ini dan meluahkan rasa terkilan projek ini telah mengambil masa selama dua tahun. Sepanjang tempoh tersebut mereka tidak dapat menanam padi.
Persoalannya adakah ganti rugi ihsan telah diberikan kepada mereka yang terkait dengan kawasan projek ini? Saya mohon kementerian memberikan perhatian terhadap perkara ini yang telah membelenggu penduduk kampung yang terlibat dan mencari penyelesaian tuntas bagi mengatasinya. Sekian, terima kasih.
Minta Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.
Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kuantan. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Ekonomi kerana memberikan peluang kepada saya untuk menjawab di giliran yang pertama disebabkan oleh urusan rasmi kementerian yang perlu saya segerakan selepas ini. Terima kasih sekali lagi.
YB Yang di-Pertua, Projek Membina dan Menaik Taraf Infrastruktur Pengairan dan Saliran di Skim Pengairan Paya Sepat, Kuantan, Pahang telah diluluskan dengan jumlah RM2.4 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-12 berdasarkan permohonan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang bagi petani yang berhadapan dengan masalah bekalan air untuk tanaman padi berikutan infrastruktur sedia ada yang telah uzur dan tidak bersistematik.
Projek ini telah bermula pada 9 Mei, 2022 dan tarikh siap asal projek adalah pada 9 November, 2023. Namun projek ini telah mendapat dua lanjutan masa (EOT) iaitu EOT yang pertama sehingga 7 Mac, 2024 dan telah disiapkan sepenuhnya di dalam EOT yang kedua pada 16 Jun, 2024 dan skim ini sudah boleh beroperasi sepenuhnya mengikut jadual penanaman.
Penyerahan tapak secara rasmi daripada agensi pelaksana kepada KPKM dijangka akan dilaksanakan pada bulan September tahun ini. Skop projek ini melibatkan kerja-kerja membina dan menaik taraf tali air konkrit bagi seksyen 1, 2 dan sebahagian seksyen 3 sepanjang 2.2 kilometer di mana melibatkan kawasan penanaman sawah padi yang aktif. Kerja reka bentuk telah disiapkan pada tahun 2021. Melalui reka bentuk secara dalaman oleh JPS Malaysia dan reka bentuk projek ini telah mengambil kira aras air kolam takungan dan keperluan bekalan air ke kawasan sawah.
Untuk makluman, operasi sistem pengairan di kawasan ini adalah menggunakan pam bergerak yang akan dibekalkan oleh JPS Negeri Pahang untuk membekalkan air daripada kolam takungan ke sistem tali air yang telah siap dibina pada musim penanaman.
Satu sesi pengujian telah diadakan di tapak projek pada 13 Jun 2024 yang turut dihadiri oleh wakil daripada JPS negeri Pahang, JPS Daerah Kuantan, Bahagian Mekanikal dan Elektrikal JPS Pahang, Jabatan Pertanian Daerah Kuantan dan Tok
Empat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung di Kampung Sepat, Sungai Dua. Semasa sesi pengujian, satu pam bergerak dengan kapasiti 5 cusec telah digunakan untuk membekalkan air daripada kolam ke dalam tali air yang dibina.
Adalah dimaklumkan bahawa semasa projek ini dilaksanakan, pihak JPS negeri Pahang telah menjemput wakil penduduk dan Jabatan Pertanian untuk bersama di dalam beberapa mesyuarat dan perbincangan. Sekian dan terima kasih.
Saya persilakan Yang Berhormat Kuantan untuk mengajukan pertanyaan.
Okay, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Jadi, berdasarkan jawapan tadi, test telah dilakukan pada 13 Jun ya. Jadi eloklah molek nya akan-akan datang kalau dimaklumkan kepada Ahli Parlimen itu, hari ini dia jadi senang dah jawapan kita. Tetapi walaupun begitu, terima kasih atas jawapan yang diberikan secara komprehensif. Saya ada turun ke lokasi melihat kolam takungan untuk menyalirkan air ke sawah yang kelihatan tidak begitu besar, makna nya kolam itu tidak besar.
Saya kurang pasti adalah kapasiti air kolam takungan mencukupi untuk keperluan saliran ke kawasan sawah di lokasi ini. Persoalannya, apakah langkah mitigasi bagi memastikan bekalan air di dalam kolam tersebut mencukupi untuk disalirkan? Di sini juga saya ingin mencadangkan agar dibina telaga tiub sebagai sumber alternatif bagi memastikan bekalan air di kawasan ini sentiasa tersedia dan mencukupi.
Seterusnya, semasa tinjauan saya di lokasi juga banyak pokok-pokok dan lalang-lalang. Oleh sebab tinggal dalam masa dua tahun, pokok lalang ini sudah tumbuh di kawasan sawah padi, dan parit di tepi sawah tidak dibina longkang konkrit juga dipenuhi tumbuhan liar kerana lama terbiar. Oleh itu, tanah sawah ini perlu dibaik pulih, lalang dan pokok-pokok liar perlu dicantas, parit-parit di kawasan tepi sawah perlu dibersihkan sebelum padi boleh ditanam semula selepas projek saliran ini siap sepenuhnya.
Jadi soalan saya, adakah pihak kerajaan akan membantu dalam kerja-kerja baik pulih tanah sawah ini dijangka memerlukan kos yang tinggi dan pastinya membebankan pesawah yang telah lama tidak menanam padi. Sekian, terima kasih.
Minta Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kuantan. Sebenarnya berdasarkan kepada kajian yang telah dibuat, bekalan air tersebut adalah mencukupi untuk dibekalkan kepada kawasan sawah. Pada masa yang sama, kita telah sediakan fasiliti pam bergerak. Fungsi pam ini adalah untuk bawa, pam kan untuk memastikan air itu boleh disalurkan kepada kawasan-kawasan sawah yang mungkin tidak mendapat bekalan air yang mencukupi berdasarkan kepada musim dan sebagainya.
Tetapi pada masa yang sama, kita boleh juga mempertimbangkan pembinaan tube well. Sebelum kita buat sedemikian, kita perlu buat kajian dulu sekiranya sumber air yang di kawasan itu adalah mencukupi di bawah tanah sebab kos untuk korek tanah untuk membina tube well itu melibatkan kos yang besar. Jadi kajian perlu dijalankan sebelum itu, tetapi pam bergerak ada dan bagi membantu kepada pembersihan kawasan dan sebagainya. Kementerian kita juga ada program bantuan di mana kita boleh bantu sediakan tapak supaya pesawah-pesawah boleh mula menanam padi.
Jadi saya mohon mungkin YB boleh berbincang dengan pihak JPS dan juga pengurusan di kawasan tersebut untuk angkat permohonan melalui JPS negeri
supaya kementerian kita juga boleh mempertimbangkan untuk salurkan bantuan tersebut. Sekian dan terima kasih.
Terima kasih.
Ahli Yang Berhormat bagi kawasan Paya Besar.
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Baik Pulih Permukaan Jalan FT1490 Jalan Panching, KuantanSpecial Chamber
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Datuk Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri Kerja Raya. Saya ingin membangkitkan berkenaan permasalahan yang dihadapi masyarakat di Parlimen Paya Besar, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching iaitu berkenaan permukaan jalan yang tidak rata, garisan jalan yang perlu dicat semula, gelap dan tidak selamat, terutamanya pada waktu malam di FT 1490 Jalan Panching, Parlimen Paya Besar, Kuantan, Pahang.
Datuk Yang di-Pertua, untuk makluman, keadaan yang mendesak inilah yang memerlukan pihak kerajaan untuk membaiki permukaan jalan raya, mengecat garisan jalan yang mempunyai spesifikasi pemantul cahaya dan pemasangan lampu jalan perlu disegerakan dalam menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat, terutamanya mereka yang menggunakan jalan tersebut. Jalan ini merupakan jalan yang utama digunakan oleh penduduk yang tinggal di kawasan FELDA Sungai Panching Selatan, FELDA Sungai Panching Timur dan FELDA Sungai Panching Utara untuk keluar dan masuk dari atau ke bandar Kuantan melalui jalan ini dan untuk ke kawasan Sungai Lembing.
Jumlah kenderaan yang melalui laluan ini juga banyak kerana laluan ini juga merupakan laluan utama pengguna yang ingin ke pusat tarikan pelancongan iaitu Air Terjun Sungai Pandan. Jalan raya ini merupakan jalan Persekutuan di bawah seliaan pihak Jabatan Kerja Raya. Tuan Yang di-Pertua, namun, jika dilihat keadaan terkini, keadaan di sepanjang jalan kawasan tersebut berlubang dan tidak rata dan sangat membahayakan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut.
Situasi ini menyebabkan banyak kemalangan berlaku termasuk kemalangan maut, malah tidak terkecuali juga keadaan jalan yang gelap yang telah mengakibatkan kenderaan melanggar haiwan liar di sekitar jalan berkenaan. Oleh itu, usaha ke arah menambah baik infrastruktur termasuk kemudahan lampu di kawasan tersebut juga perlu dinaik taraf dan direalisasikan. Justeru, saya ingin bertanya apakah pendirian kerajaan untuk melaksanakan usaha tersebut? Apakah jadual kerja untuk memulakan dan mengatasi kerosakan jalan tersebut?
Saya mohon jaminan pihak kerajaan agar dapat menimbangkan perkara ini dengan penuh komited memandangkan projek ini berkait secara langsung dengan keperluan keselesaan rakyat dan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Sekian, terima kasih.
Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Terima kasih Dato Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Paya Besar. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya bersama pihak Jabatan Kerja Raya sentiasa memandang serius terhadap aduan-aduan kerosakan jalan di jalan Persekutuan.
Merujuk kepada soalan Ahli Yang Berhormat, jalan Persekutuan tersebut adalah FT1490, Jalan Sungai Panching Utara adalah sepanjang 27.46 km dan merupakan jalan Persekutuan yang disenggara oleh syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan.
Pada tahun 2021 hingga 2023, kementerian ini telah memperuntukkan sebanyak RM1.82 juta di bawah Program Penyenggaraan Berkala Pavemen oleh syarikat konsesi melalui Arahan Kerja (AK) dan penyenggaraan lampu jalan oleh JKR secara perolehan jabatan. Kerja-kerja penyenggaraan tersebut melibatkan dua bilangan kerja berkala pavemen dan satu bilangan kerja penyenggaraan lampu jalan di jalan tersebut dan semua kerja telah disiapkan sepenuhnya.
Berdasarkan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2024 ini, kementerian ini telah mengenal pasti dan merancang sembilan bilangan kerja berkala pavemen bernilai RM8.75 juta, pavemen dan lapan bilangan kerja berkala bukan pavemen yang bernilai RM795 ribu bagi sepanjang jaringan Jalan Persekutuan FT1490. Bagi perlaksanaan kerja tahun 2024, jalan-jalan yang rosak telah dikenal pasti oleh pihak syarikat konsesi penyenggaraan jalan Persekutuan yang dilantik dan pihak JKR telah menyediakan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) bagi Tahun 2024 berdasarkan kerosakan jalan.
Walau bagaimanapun, kelulusan kerja tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan serta senarai keutamaan kerja yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan bagi keseluruhan jaringan Jalan Persekutuan di bawah seliaan kementerian ini.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, kementerian ini amat mengambil berat akan isu keselamatan jalan raya khususnya di Jalan Persekutuan seluruh negara. Kementerian ini melalui Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya dan Peruntukan Khas Kementerian Kewangan Tahun 2023 ada melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap.
Jadi bagi skop ini, kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai kemalangan akan dikenal pasti dan pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat dan berskala kecil bukan bagi tujuan pencahayaan yang menyeluruh. Ini terhad kewangan kita.
Pada tahun 2023, sejumlah RM15.03 juta telah dibelanjakan untuk pemasangan lampu jalan di 106 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia. Pada tahun 2023, sebanyak 11 lokasi di Jalan Persekutuan Negeri Pahang telah dipasang lampu jalan dengan kos berjumlah RM1.49 juta. Kementerian ini mengambil maklum terhadap isu jalan gelap di kawasan Parlimen Paya Besar khususnya di DUN Panching yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat.
Untuk makluman, satu lokasi akan dipasang lampu jalan di lokasi yang dimaksudkan oleh Ahli Yang Berhormat iaitu di Jalan Panching Utara dari Simpang Masuk ke FELDA Sg. Panching Timur ke Simpang Atong, Jalan Sg. Lembing, FT1490, seksyen 4.3 dengan kos berjumlah RM100,000.00.
Jadi, Yang Berhormat jika ada keperluan, saya dengan ini memberi peluang kepada Yang Berhormat tulislah surat permohonan kalau ada keperluan. Sekian, terima kasih.
Saya persilakan Yang Berhormat Paya Besar untuk mengajukan pertanyaan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri kerana hadir sendiri untuk menjawab persoalan daripada Paya Besar. Saya amat memandang tinggi komitmen Yang Berhormat Menteri. Ada dua atau tiga persoalan Yang Berhormat.
Yang Berhormat sebut dalam jawapan Yang Berhormat tadi daripada tahun 2021-2023 ada dekat alignment FT1490. Ada satu peruntukkan yang dibuat RM1.8 juta. Saya sedar dan saya tahu kerana itu semasa saya di Kementerian Kewangan.
Cuma, persoalan dan jawapan Yang Berhormat tadi adalah penentuan daripada pihak JKR. Adakah − sebenarnya dia punya stretch itu Yang Berhormat, dia total dia RM4 juta. Tetapi saya tidak faham kenapa ketika itu JKR memisahkan projek tersebut. Yang dia buat CIPR itu okey. RM1.8 juta itu okey. Sepatutnya dia kena extend sedikit lagi supaya mencukupilah untuk RM4 juta itu. Tetapi dia tidak buat. Dia pindahkan tempat lain.
Jadi, bagaimana persoalannya Yang Berhormat. Bagaimana penentuan JKR.
Dia hendak ikut siapa. Dia hendak ikut dia ke atau hendak ikut wakil rakyat untuk menentukan jalan mana yang perlu dibaiki ataupun jalan mana yang tidak perlu dibaiki. Sebab kadang-kadang saya lihat di kawasan saya ada tempat yang tidak ada orang dan tidaklah kerosakan yang besar. Itu yang diturap. Tetapi di tempat yang perlu diturap, tidak diturap dan jalan ini Yang Berhormat, saya tidak bawa ke Dewan sebab saya bagi peluang mereka untuk membuat tindakan.
Tetapi saya sudah lihat setahun lebih sudah isu ini berlarutan dan tidak ada penyelesaian. Apatah lagi Yang Berhormat, saya hendak rekodkan FELDA Sungai Paya Panching Selatan itu kampung saya. Dan berlaku pula setiap kali saya balik dan isu itu yang saya alami. Jadi tidak manislah tempat Ahli Yang Berhormat sendiri pun tidak diturap dan apatah lagi mereka menyaksikan bahawa saya tidak ambil tindakan. Kalau dibuat penentuan dahulu menggunakan RM4juta tersebut tanpa memecahkan dua pakej kepada hantar tempat lain, saya ingat tidak akan ada masalah di situ.
Sebabnya Yang Berhormat, bila lalu Yang Berhormat, kereta boleh terbalik tau Yang Berhormat. Ini bukan perkara yang kita boleh ambil mudah dan kawasan ini adalah kawasan yang amat gelap. Itu yang pertama. Yang kedua Yang Berhormat, kenapa jalan tersebut tidak rata dan berlubang kerana kenderaan yang lalu di situ adalah kenderaan yang tidak sepatutnya lalu di situ.
Jadi, saya hendak bertanya pada pihak kementerian. Apakah langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan di laluan berkenaan dan memandangkan kenderaan berat yang menggunakan laluan tersebut yang menyebabkan − dan saya tahu kos CIPR ini tinggi. Tetapi kalau kita dapat buat penguatkuasaan dan dapat maklumat daripada pemilik setempat. Saya ingat ini lebih afdal dan lebih memudahkan.
Akhirnya Yang Berhormat, banyak di kawasan-kawasan Paya Besar ini side table-nya rendah daripada jalan. Jadi apabila lori-lori besar, jalan yang sempit, kenderaan-kenderaan kecil terpaksa pergi ke side table, bahu jalan. Jadi, apabila bahu jalan itu rendah daripada jalan yang utama, jadi akan menyebabkan terbabasnya kenderaan kecil dan populasi di kawasan ini adalah ramai orang tua, Yang Berhormat. Dia aging population. Kawasan FELDA ini. Jadi, bila dia sudah turun ke bawah, dia turun teruslah ke gaung.
Jadi, perkara ini banyak yang berlaku dan macam mana Yang Berhormat dapat bantu dan bagaimana spesifikasi bukan sahaja jalan Yang Berhormat, tetapi bahu jalan tersebut dapat kita tambah baik. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Datuk Yang di-Pertua, yang pertama tadi agak spesifik yang diceritakan oleh Yang Berhormat di kawasan Yang Berhormat.
Saya mohon daripada Yang Berhormat beri saya peluang untuk saya semak bersama pegawai-pegawai mengapa dipecahkan projek-projek itu dan nanti selepas semakan nanti saya akan maklum kepada Yang Berhormat baik secara bertulis atau secara lain nanti lebih bermaknalah kalau saya respons sebegini rupa ya. Sebab saya simpati Yang Berhormat.
Saya pun pernah jadi backbencher dahulu. Jadi di kawasan sendiri kita memang kena usahakan dan perjuangkanlah ya. Jadi, izinkan saya buat semakan dan saya beri peluang kepada pegawai untuk maklum kepada saya mengapa yang berlaku. Kalau apa kami boleh buat nanti kita akan bantu untuk kita sempurnakan keadaan yang seperti ini yang diceritakan oleh Yang Berhormat.
Satu berkaitan dengan kenderaan berat. Ini masalah yang sangat-sangat berleluasalah di mana-mana sahaja memang ada kaitan kerosakan jalan berlubang ini berkaitan dengan punca mengapa ialah kesan kerana kenderaan terlalu berat masuk ke jalan.
Mereka ini − Saya hendak jelaskan di sini Tuan Yang di-Pertua. JKR ini mungkin Yang Berhormat pun tahu sebagai mantan Timbalan Menteri Kewangan dahulu. Bina jalan, kerja − kita pastikan penyelenggaraan jalan bawah JKR, KKR.
Tetapi penguatkuasaan menggunakan jalan itu lebih-lebih lagi berkaitan dengan berat muatan di jalan raya itu adalah di bawah kuasa enforcement ataupun penguat kuasa JPJ di bawah Kementerian Pengangkutan.
Jadi, memang berkaitan dengan kementerian sekurang-kurangnya memang kami akan letak juga tanda-tanda, papan tanda di jalan-jalan untuk memberitahu kepada pengguna jalan akan had muatan yang dibenarkan di atas jalan itu. Tetapi walaupun kita ada letakkan papan tanda begitu, selalunya juga mereka ini tidak akur kepada arahan itu. Jadi, kenderaan berat masuk. Kalau tiba-tiba memang mereka kena tangkap, memang itu tindakan yang sepatutnya diambil oleh JPJ dan sebagainyalah. Akan tetapi kalau terlepas, memang mereka ini boleh dikatakan adalah sumber kepada masalah jalan kita rosak dan sebagainya.
Jadi, memang ada juga daripada JKR kerjasama dengan JPJ dan sebagainya. Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya ambil peluang ini untuk perkenalkan apps yang telah kita lancarkan. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri lancarkan apps MyJalan ini supaya pengguna-pengguna jalan raya dan siapa sahajalah apabila nampak jalan itu rosak, retak dan berlubang, sila laporkan menggunakan apps ini supaya kami dapat makluman dengan cepat.
Kalaulah lokasi itu di bawah seliaan KKR, JKR iaitu Jalan Persekutuan atau jalan FELDA yang dalam seliaan Persekutuan, kita boleh ambil tindakan dengan segera. Kalau tidak pun kita tidak akan lepas begitu sahaja. Kita akan maklum kepada pihak mana, agensi mana, kerajaan negerikah kalau jalan kerajaan negeri ataupun PBT kalau jalan itu di bawah seliaan PBT. Jadi itu adalah satu kaedah yang penambah baik dalam urusan kami untuk membantu dalam kita buat kerja-kerja dengan segera untuk kita menyempurnakan jalan kita.
Dari segi peruntukkan Yang Berhormat, sebenarnya memang keperluan memang besar.
Sebab itu sekali lagilah saya katakan di sini sebagai mantan Menteri Kewangan, saya fikir memang Yang Berhormat tahulah backlog kerja-kerja.
Sepatutnya kita kerja kita tidak dapat kerja kerana kekangan kewangan kita dalam 100 tahun. Kita dalam satu bajet hanya dapat 25 peratus daripada yang keperluan.
Macam sekarang saya diberi taklimat oleh pegawai, kita memerlukan hampir RM4.0 bilion untuk kita sempurnakan jalan kita sebab ageing betul ya. Jalan kita sudah di tahap menua. Ia makin tua makin tahun.
Jadi backlog kita dia makin jurang − dia makin besar sebab peruntukan yang diberi kepada KKR ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan baik secara langsung atau pun baik menerusi syarikat-syarikat konsesi, jadi keadaan kewangan kita tidak mencukupi. Akan tetapi berita baik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang telah memberi tambahan untuk tahun ini dan kita berharaplah bajet yang akan dibentangkan tahun ini untuk tahun hadapan kita akan dapat tambahan lagi seperti sudah dimulakan.
Jadi dengan kaedah ini Yang Berhormat, kalau kita tidak ada dana mencukupi memang sukarlah untuk kita memenuhi kehendak kita semua. Jadi dalam pada itu, saya berharaplah kita bersama dalam menangani masalah ini demi rakyat. Jadi saya sentiasa mengalu-alukan cadangan, teguran, apa-apa sahaja lah daripada Ahli-ahli Yang Berhormat di mana-mana tempat masing-masing atau pun di mana-mana tempat yang lain supaya membantu kami di KKR dan JKR untuk kami menjalankan tugas menggalas tanggungjawab kami. Sekian, terima kasih.
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Pemasangan Lampu Isyarat Di Persimpangan Jalan Bandar Kuantan Putri-Jalan Tanjung LumpurSpecial Chamber
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, dan terima kasih juga Yang Berhormat Menteri hadir sendiri pada petang ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian Kementerian Kerja Raya berkenaan kes kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di persimpangan Jalan Bandar Kuantan Putri-Jalan Tanjung Lumpur (FT183).
Untuk rekod, telah berlaku dua kemalangan maut di persimpangan jalan ini iaitu pada Jun 2023 dan November 2023. Manakala kemalangan ringan yang tidak melibatkan kehilangan nyawa sangat kerap terjadi dan yang terakhir berlaku pada 21 April, 2024.
Kami telah beberapa kali menghantar surat kepada pihak berkaitan berkenaan permohonan pemasangan lampu isyarat di persimpangan jalan ini.
Permohonan pemasangan lampu isyarat dihantar kepada pihak Jabatan Kerja Raya
(JKR) Daerah Kuantan pada Jun 2023. Analisis kajian trafik telah dilaksanakan oleh JKR Daerah Kuantan dan telah dihantar kepada JKR Negeri Pahang untuk permohonan peruntukan seperti dalam surat makluman pada Disember 2023.
Pada 18 April 2024, kami telah menghantar surat kepada JKR Negeri Pahang bertanyakan status semasa permohonan pemasangan lampu isyarat tersebut, namun tidak menerima maklum balas sehingga tarikh usul ini dihantar. Tuan Yang di- Pertua, terdapat kira-kira lapan kawasan taman perumahan di laluan Jalan Bandar Kuantan Putri dengan jumlah unit kediaman hampir 1,500 buah. Oleh itu kadar trafik di laluan ini sangat tinggi khususnya pada waktu puncak.
Soalan saya, apakah panduan dan penanda aras dalam memastikan kemudahan seperti lampu isyarat akan dibina untuk keselamatan pengguna jalan raya? Adakah ia bergantung kepada jumlah trafik semata-mata? Adakah faktor reka bentuk jalan raya seperti kawasan selekoh dan kawasan persimpangan turut diambil kira? Adakah kadar kemalangan menjadi faktor penolak (pushing factor) agar
permohonan ini dapat disegerakan? Jika demikian, berapa banyak nyawa yang perlu menjadi korban untuk meluluskan projek ini?
Sehubungan dengan itu, saya mewakili penduduk Kuantan khususnya di kawasan sekitar Taman Kuantan Puteri merayu agar permohonan ini dipertimbangkan dan mendapat kelulusan dengan kadar segera demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Sekiranya permohonan ini dalam proses kelulusan peruntukan, saya mohon kementerian nyatakan garis masa pelaksanaan projek ini. Sekian, terima kasih.
Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat yang bertanya ini.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian ini amat mengambil berat akan isu keselamatan jalan raya khususnya di Jalan Persekutuan seluruh negara. Kementerian ini melalui Program Menaik taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya ada melaksanakan skop pemasangan lampu isyarat di persimpangan. Skop ini merupakan skop baharu yang diluluskan Agensi Pusat pada RP4, tahun 2024 ini ya.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, persimpangan yang dimaksudkan oleh Ahli Yang Berhormat Kuantan sepertimana permohonan Ahli Yang Berhormat kepada JKR Daerah Kuantan adalah terletak di Jalan Padang Lalang-Tanjung Lumpur-Kampung Baharu, Kuantan laluan Persekutuan FT183, seksyen 10.12.
Sukacita kementerian ingin memaklumkan bahawa cadangan menaik taraf persimpangan tersebut kepada persimpangan berlampu isyarat telah diluluskan dengan kos RM330,000.
Kerja menaik taraf persimpangan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Buat masa ini, pelaksanaan projek tersebut dalam peringkat perolehan yang akan mula diiklankan pada awal Julai, awal bulan depan, 2024 dan jangkaan memuktamadkan Surat Setuju Terima (SST) pada awal Ogos 2024.
Keseluruhan kerja mengambil masa selama empat bulan dan dijangka disiapkan pada awal bulan Disember 2024 ini.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, panduan pemasangan lampu isyarat adalah merujuk kepada Arahan Teknik Jalan (ATJ) 13/87 (Pindaan 2017) A Guide to The Design of Traffic Signal. Jadi secara amnya, faktor utama yang diambil kira dalam penentuan keperluan pemasangan lampu isyarat di persimpangan adalah trafik dan kemalangan. Jadi Yang di-Pertua, terdapat lima justifikasi teknikal yang menjadi penentu pemasangan lampu isyarat iaitu lampu isyarat wajar disediakan sekiranya satu atau lebih daripada justifikasi teknikal ini dipatuhi seperti yang saya akan senaraikan ini.
(i) purata jumlah lapan jam kenderaan di persimpangan pada hari bekerja biasa iaitu lokasi FT183 hendaklah melebihi 600 jumlah kenderaan di jalan utama dan melebihi 200 di jalan minor;
(ii) jumlah kenderaan sejam pada waktu puncak sama ada pagi atau petang bagi lokasi FT183 dengan purata minima jumlah kenderaan sebanyak 550 di jalan utama dan purata kenderaan sebanyak 200 di jalan minor bagi tempoh sejam pada waktu puncak;
(iii) sistem koordinasi isyarat adalah bertujuan bagi penyelarasan antara lokasi lampu isyarat yang berdekatan supaya trafik berjalan dengan lancar;
(iv) keselamatan pejalan kaki. Justifikasi teknikal ini adalah bertujuan mempertimbangkan keperluan pejalan kaki bagi melintas jalan; dan
(v) sejarah kemalangan bagi tiga tahun yang terkini.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, bagi justifikasi teknikal pertama dan kedua, pertimbangan trafik diambil bagi kesukaran kenderaan keluar dari jalan minor untuk memasuki jalan utama. Sebagai contoh, sekiranya data trafik menunjukkan isi padu trafik telah melebihi nilai minimum yang ditetapkan, maka pemasangan lampu isyarat adalah waran untuk dipasang. Selain itu, bilangan pejalan kaki yang melintas juga diambil kira dalam semakan justifikasi teknikal keempat.
Jadi, selain faktor trafik, sekurang-kurangnya lima sejarah kemalangan bagi tiga tahun terkini juga disemak terutamanya di kawasan kerap berlaku kemalangan yang melibatkan langgar sebelah tepi. Risiko jenis perlanggaran ini boleh dikurangkan dengan fasiliti lampu isyarat bagi mengurangkan konflik jalan raya.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya sentiasa komited dalam memastikan jalan raya di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa serta memandang serius terhadap perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli Yang Amat Berhormat. Sekian, terima kasih.
Saya persilakan Yang Berhormat Kuantan untuk mengajukan pertanyaan.
Jadi saya pun apabila mendengar apa yang telah dan juga apa yang akan dilaksanakan dan kita nampak garis masa siapnya Disember 2024. Jadi − dan penduduk-penduduk Kuantan Putri pun ketika ini pun sedang live kita punya Kamar Khas. Mereka sangat berbesar hati dengan jawapan ini dan kita mengharapkan agar pemantauan untuk persiapan seperti mana garis masa yang ditetapkan itu berjalan dengan lancar.
Jadi soalan tambahannya tak ada-lah. Kita mengucapkan ribuan terima kasih di atas tindakan. Terima kasih.
Ahli Yang Berhormat Paya Besar.
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Keperluan Dasar Prestasi Ekonomi Dan Modal HijauSpecial Chamber
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah berkembang dengan pesat selama beberapa dekad terakhir. Namun harga yang harus dibayar atas dampak perubahan iklim, sangatlah membimbangkan. Pentingnya untuk menangani pelepasan gas rumah hijau, penebangan hutan, dan pencemaran yang berkaitan untuk diimbangkan dengan pertumbuhan ekonomi.
Perkara ini menentukan satu dasar yang komprehensif. Laporan Jurang Pelepasan (EGR) 2022 mendapati bahawa kita jauh melepasi matlamat Perjanjian
Paris untuk mengehadkan kenaikan suhu permukaan global hanya sebanyak 1.5°C berbanding paras pra-industri. Datuk Yang di-Pertua, Dasar Prestasi Ekonomi dan Modal Hijau, atau yang dikenali sebagai dengan izin Green Capital and Economic Performance Policy (GCEPP) membincangkan konsep Modal Hijau dan kaitannya dengan prestasi ekonomi.
Agregat Nilai Elemen Alam Sekitar dan ekonomi ini akan menghasilkan Skor Prestasi Ekonomi Modal Hijau berdasarkan skala yang dipersetujui. Rangka kerja ini unik untuk Malaysia kerana ia mengambil kira sumbangan inisiatif dan program hijau untuk mengira pemboleh ubah prestasi ekonomi dan modal hijau.
Persoalan saya Dato Yang di-Pertua, bagaimanakah kerajaan merancang untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi Malaysia dan isu alam sekitar dan pencemaran yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi?
Adakah kerajaan sudah mempunyai dasar atau inisiatif khusus untuk mencapai keseimbangan ini? Seterusnya memastikan pembangunan mampan.
Selain itu Dato’ Yang di-Pertua, walaupun sumbangan Malaysia yang agak minimum kepada pelepasan gas hijau global, bagaimanakah kerajaan merancang untuk memanfaatkan kedudukan semasa untuk mengambil langkah yang proaktif dalam menggesa masyarakat dunia bagi mencapai matlamat Perjanjian Paris.
Sehubungan itu, adakah kerajaan bersedia membangunkan Model Rangka Kerja GCEPP supaya Malaysia akan menjadi contoh dalam pembangunan ekonomi yang lebih mampan. Bagaimanakah kerajaan memastikan bahawa masyarakat umum cakna dengan semua inisiatif kelestarian yang dibawa oleh kerajaan? Sekian, terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Minta Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Agenda kemapanan merupakan teras kepada pembangunan sosioekonomi negara. Usaha melonjakkan kemapanan adalah penting untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat, di samping melindungi alam sekitar, memulihara sumber semula jadi dan menjamin kesihatan bumi.
Di peringkat antarabangsa, di bawah Perjanjian Paris, Malaysia telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca
(GHG) sebanyak 45 peratus pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005. Malaysia juga bersama-sama 192 negara menerima pakai Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 25 September 2015. Ia merupakan komitmen global ke arah pembangunan yang mampan, berdaya tahan dan inklusif.
Agenda kemapanan alam sekitar dan perubahan iklim telah diberi perhatian oleh negara dalam dasar dan pelan tindakan bermula RMKe-10, dan diteruskan sehingga kini. Dalam RMKe-12, agenda pertumbuhan hijau terus dipergiat untuk memastikan kemapanan dan daya tahan melalui pendekatan ke seluruh negara.
Semasa pembentangan RMKe-12 pada September 2021, negara telah mengumumkan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal tahun 2050.
Seterusnya, Kajian Separuh Penggal (KSP), RMKe-12 terus memberi perhatian kepada strategi melonjakkan kemapanan dan mempercepat pertumbuhan hijau. Usaha ini akan dilaksanakan dengan menyatukan semua pihak berkepentingan
dalam berkongsi tanggungjawab untuk memastikan kelestarian alam sekitar bagi mencapai matlamat Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan.
Merujuk kepada Agenda 2030, kesemua tujuh belas matlamat SDG telah dijajarkan kepada strategi dan bidang keutamaan dalam RMKe-12 dan KSP RMKe- 12 untuk memastikan pembangunan negara berteraskan kepada prinsip pembangunan mampan. Salah satu anjakan besar dalam KSP RMKe-12 ialah tumpuan kepada industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang tinggi (HGHV) berasaskan peralihan tenaga. Pengurangan pelepasan karbon daripada sektor tenaga menjadikan ekonomi lebih mampan.
Strategi kemapanan lain yang digariskan dalam KSP RMKe-12 antaranya berkaitan tindakan daya tahan perubahan iklim dan bencana, pengurusan sumber asli, pelaksanaan SDG dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta penerapan perubahan tingkah laku. Strategi ini akan menyokong peralihan kepada ekonomi hijau, inovatif serta mewujudkan peluang pertumbuhan ekonomi baharu.
Antara sumber pembiayaan dan inisiatif yang menyokong pertumbuhan ekonomi hijau adalah:
(i) Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM2 bilion;
(ii) Dana pembiayaan oleh institusi kewangan dengan nilai keseluruhan RM200 bilion untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon; dan
(iii) Dokumen Sustainable and Responsible Investment (SRI) Taxonomy oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi menyediakan panduan yang jelas kepada pelabur dalam pasaran modal untuk mengenal pasti aktiviti ekonomi yang mampan.
Pihak MOF boleh memainkan peranan yang signifikan dalam menguar- uarkan sumber dan inisiatif sedia ada serta membantu memudah cara pihak industri mendapatkan sumber tersebut. Pembangunan ekonomi hijau yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa turut menggerakkan negara-negara yang sedang membangun, termasuk Malaysia untuk mengambil kira elemen ekonomi hijau dalam pengukuran pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.
Berhubungan Model Green Capital dan Economic Performance Policy
(GCEPP), ia dilihat satu model dan rangka yang boleh diteroka bagi pengukuran prestasi ekonomi hijau. Walau bagaimanapun, ia memerlukan penelitian dan kajian yang menyeluruh bagi menilai kesesuaian model ini untuk diguna pakai oleh negara termasuklah dari segi indikator yang akan digunakan.
Selari dengan kepentingan pengukuran prestasi ekonomi hijau, Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan pihak United Nations Development Programme untuk membangunkan satu kerangka dan model ekonomi hijau berdasarkan perspektif Malaysia. Model ini bertujuan untuk mengenal pasti baseline ekonomi semasa dengan mengambil kira faktor-faktor iklim dan menyediakan analisis tentang kesan risiko perubahan iklim dan dasar yang boleh digunakan sebagai input bagi perancangan di peringkat makroekonomi, sekali gus mensasarkan pembangunan sosioekonomi negara yang lebih menyeluruh dan mampan pada masa hadapan.
Melalui kajian ini juga, elemen pengukuran prestasi ekonomi hijau akan diberi perhatian. Usaha untuk memastikan pembangunan mampan secara penyeluruhan sudah semestinya memerlukan komitmen semua pihak dalam berkongsi tanggungjawab bersama. Usaha ini perlu disokong oleh perubahan minda dan
tingkah laku oleh semua pihak yang akan membantu negara mencapai ekonomi hijau dan memelihara kesihatan bumi. Sekian, terima kasih.
Saya persilakan Yang Berhormat Paya Besar untuk mengajukan pertanyaan.
Terima kasih Dato Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri Ekonomi atas jawapan. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Ekonomi kerana telah meluncurkan banyak polisi yang memberi kesan kepada global ekonomi, khususnya berkaitan alam sekitar.
Cumanya persoalan saya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya bangkitkan isu ini walaupun disebut dalam jawapan tadi ia mengambil satu masa yang agak lama untuk kita menetapkan dasar green economy khususnya GCEPP ini mengambil masa yang lama dan saya setuju untuk kita melihat perspektif Malaysia dalam kita menetapkan skor penilaian tersebut. Sebab selama ini GDP kita berasaskan C+I+G+X. Tetapi elemen itu sebab saya tidak mahu Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Saya artificial intelligence ini 20 tahun yang lepas saya sudah belajar dalam satu subjek. Tetapi barulah after 20 years kita barulah hendak bercakap tentang artificial intelligence. Kerisauan saya adalah minda dan tingkah laku yang Yang Berhormat Timbalan Menteri sebutkan tadi. Takut orang Malaysia tidak sempat hendak bentuk minda dan tingkah laku dalam masa yang cepat. Itu sebabnya kita kena berani membuat tindakan yang agresif dan saya yakin pegawai-pegawai yang ada di belakang Yang Berhormat akan sentiasa menyokong.
Yang paling pentingnya adalah kita mesti berupaya untuk lakukan sesuatu yang di luar kelaziman dan perkara ini amat penting untuk kita cepat-cepat buat.
Jangan sampai Yang Berhormat, negara jiran kita Singapura lebih advance daripada kita dalam menentukan prestasi ekonomi. Kerana apa? Kerana kita ada US, Germany sudah melihat untuk annex this policy. Kita lihat negara-negara yang most green country seperti Sweden, Finland, Denmark and France. Jadi, saya yakin berdasarkan jawapan Yang Berhormat tadi ada komitmen.
Cumanya, saya harap Yang Berhormat Menteri supaya kementerian Yang Berhormat kita lebih cepat. Jangan jadi macam artificial intelligence. Jangan jadi macam teknologi drone. Sekarang teknologi drone sudah jauh advance. Kita barulah hendak terkial-kial untuk this policy ataupun strategi untuk kita lakukan. Orang sudah angkat drone, angkat simen, angkat barang-barang untuk ke puncak gunung. Kita baru hendak tengok untuk agro.
Ini perkara yang saya minta sangat kementerian supaya agresif dalam apa jua yang berlaku di peringkat internasional supaya kita dapat buat benchmarking.
Saya yakin ramai pegawai-pegawai kerajaan ke luar negara untuk buat benchmarking. Tetapi bagaimana polisi yang dibuat pada ketika ini. Itu pandangan saya Yang Berhormat.
Persoalan saya kepada Yang Berhormat, pada masa ini adakah terdapat suntikan atau inisiatif daripada kerajaan untuk menggalakkan sektor swasta untuk menerima guna amalan perniagaan secara hijau dan mampan. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Minta Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.
Terima kasih Yang Berhormat Paya Besar.
Memang dari segi kekhuatiran yang berlaku pada alam semula jadi adalah satu perkara yang amat diberatkan. Di Malaysia, kita telah mengkaji dan mendapatkan bahawa dari segi contribution carbon emissions kita adalah sebenarnya 0.7 peratus.
Alhamdulillah agak kecil.
Okey dan sebagaimana yang kita hendak laksanakan seagresifnya untuk melaksanakan pembangunan mampan, banyak juga dari segi kekangan kita. Antara penukaran minda ke dari segi awareness. Tetapi selain daripada itu bukan mudah untuk misalannya memilihkan facilities dan inisiatif yang terbaik untuk Malaysia.
Kerana inisiatif ada mempunyai terlalu banyak yang dapat dipilih yang kita memandangkan. Ada juga yang baharu dimaklumkan dan di-newly discovered.
Okey, misalannya antara renewable energy yang telah dilaksanakan oleh negara-negara lain adalah penggunaan windmill. Okey, tetapi yang ini tidak bersesuaian dengan kegunaan di Malaysia kerana kekuatan angin kita memang tidak sehebat yang itu. Okey, jadi daripada segi misalannya CCUS hanya beberapa lokasi yang bersesuaian untuk penyimpanan karbon di mana ia adalah suatu perkara yang amat selamat dan kita perlu memastikan bahawa ia adalah menjamin keselamatan diutamakan untuk negara kita, okey.
Selepas kita mendapatkan fahaman bahawa kawasan lokasi simpanan CCUS itu bersesuaian, kita perlu memandangkan daripada segi pelaksanaan infrastrukturnya yang dimaklumkan seperti CCUS yang berada di Sarawak Kasawari dan Lang Lebah. Jauhnya lebih daripada 10 kilometer perairan dari Sarawak. Jadi, dari sana mencarikan cara transportation untuk melaksanakannya. Adakah menggunakan piping, adakah menggunakan container dan daripada segi pengangkutannya adakah selamat daripada segi gas. Tidak.
Ia harus diubahkan kepada cara yang lain seperti barang yang fizikal ataupun cecair. Dan ia mempunyai banyak-banyak jenis daripada segi kegunaan. Adakah daripada segi karbon itu digunakan untuk perkara proses misalannya peminuman bergas ataupun ia tidak digunakan dan harus disimpankan di tempat yang selamat seperti di CCUS.
Pelaksanaan itu harus digunakan banyak dana dan daripada segi jenis-jenis misalannya keluaran hidrogen. Satu lagi perkara ia mempunyai banyak jenis hidrogen. Yang digunakan oleh Sarawak adalah hidrogen hijau, di mana di negara- negara lain mengikuti apakah sumber asli yang dapat digunakan untuk pertukaran itu. Dan teknik dia pun amat berbeza.
Antara perkara yang Sarawak telah mendapatkan adalah daripada segi menggunakan kulat dengan proses daripada 600 jenis spesies untuk mendapatkan satu yang bersesuaian, ditambah adukkan daripada segi ramuan satu, dibekukan.
Yang itu akan diproses kemudian menjadi satu hidrogen hijau.
Jadi, ini perkara bukannya mudah. Perlu banyak daripada teknikal mempunyai daripada segi kepakaran saintifik. Saya memaklumkan apa yang ada pada Sarawak kerana saya melibatkan diri ke konvensyen yang ada untuk menambahbaikkan pengetahuan saya supaya kita dapat memahami apakah yang bersesuaian yang dapat dilaksanakan di negeri-negeri kita di Semenanjung.
Jadi, apa yang telah dilaksanakan tidak semestinya bersesuaian dengan Semenanjung Malaysia. Okey. Jadi, yang itu mengambil waktu. Namun, kalau daripada segi kekhuatiran iklim, ya saya amat khuatir juga. Tetapi daripada segi apa yang telah dirancang oleh Paris Agreement mungkin tidak sama sekali menjangka bahawa mempunyai masalah yang membebankan bumi lagi, daripada segi peperangan, gempa bumi ataupun daripada segi bagaimana reaksi iklim dengan
yang amat aneh seperti hujan yang mengambil volum untuk satu tahun turun di Dubai untuk pada satu malam.
Jadi, itu adalah mungkin dari luar jangkaan. Kita merasa bahawa cuaca semakin panas. Tetapi kalau mengikuti daripada segi aras yang kita fahami ia masih dalam jangkaan yang telah dimaklumkan, okey. Jadi kita harus memberikan sebanyak-banyaknya rayuan, fahaman, penukar fikiran bagaimana kita mengurangkan daripada segi supaya tidak memboroskan kegunaan air, kegunaan sumber yang berkurangan dan mengurangkan daripada segi sampah. Itu amat penting.
Okey, saya amat merayu setiap kali saya dapat berbahas tentang hal ini kerana kita hanya mempunyai satu bumi. Kita tidak ada Plan B atau Planet ‘B’ ataupun yang lain dan jikalau dikatakan dalam terma English, this is our mother earth.
Jadi, laksanakanlah daripada segi kasih sayang kita seperti ibu kita pada ibu bumi kita.
Untuk menjawabkan daripada segi kajian yang ditanyakan oleh Yang Berhormat, Datuk Yang di-Pertua. Terdapat pelbagai inisiatif yang telah disediakan bagi menggalakkan sektor swasta untuk menerima guna amalan perniagaan secara hijau dan mampan. Antaranya adalah, pertama Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2 bilion yang akan dimuktamadkan oleh Kementerian Ekonomi daripada segi modaliti dan untuk dilancarkan tahun ini.
Kedua, inisiatif high-tech dan green facility (HTG) di bawah Bank Negara Malaysia dengan dana sebanyak RM1.1 bilion bertujuan membantu dan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana PKS.
Ketiga, Sustainable and Responsible Investment (SRI) Sukuk yang di bawah Suruhan Jaya Sekuriti yang bertujuan untuk menyediakan inisiatif dan menggalakkan lebih banyak syarikat membiayakan projek hijau, sosial dan kemapanan melalui sukuk. Sekian, terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan itu tamat sesi ucapan di bawah usul berkenaan Perkara Takbir Kerajaan Peraturan Mesyuarat 17 pada hari ini. Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga hari Rabu, 26 Jun 2024 jam 2.30 petang.
[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 3.31 petang]