Johor · 27 June 2019
2nd session, 1st meeting · 5 turns · 827 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Memanggil Dewan Negeri Untuk Bermesyuarat.
Pemasyhuran oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertua Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta‟zim. Dengan ini memanggil Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 27 Jun 2019 jam 9.30 pagi sebagai tarikh dan waktu bagi memulakan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Keempat Belas.
Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Bacaan selawat).
Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi membolehkan kita semua menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Tuanku, di hadapan Tangga Agung bangunan ini, maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga jam 10.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 9.35 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 10.20 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Sukacitanya saya maklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat masuk sebentar lagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan untuk bertitah kepada Dewan ini.
DYMM Tuanku Sultan Johor : Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmaanirrahim. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam, kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul, serta keluarga, dan para sahabatnya sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat saya hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas pada pagi yang berbahagia ini.
Saudara saudari sekalian,
Satu tahun telah pun berlalu bagi kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negeri Johor. Beberapa perkara penting juga telah berlaku dalam proses pemimpin-pemimpin kerajaan mencari keserasian di antara mereka dan memahami selok-belok pentadbiran kerajaan negeri. Saya sebagai pemerintah utama negeri akan sentiasa memerhati dan memberi teguran bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik, lancar dan teratur.
Tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dr. Sahruddin bin Jamal, Menteri Besar Johor yang baharu dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang telah dilantik.
Suka saya ingatkan bahawa setiap pemimpin yang telah dilantik mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memikul amanah rakyat dan negeri Johor. Oleh itu, jalankan tugas yang diberikan dengan jujur dan ikhlas serta sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan peribadi atau parti politik.
Saya juga menyeru kepada semua pemimpin kerajaan supaya memahami sejarah negeri Johor dan mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang pentadbiran kerajaan supaya dapat membuat sesuatu keputusan dengan tepat dan konsisten, selaras dengan asas pembangunan negeri Johor.
Saudara saudari sekalian,
Sebagaimana yang sering saya ingatkan satu prinsip pengurusan kewangan yang mesti dipatuhi adalah jangan belanja lebih daripada hasil yang diterima. Oleh itu, kerajaan hendaklah memastikan terdapat lebihan hasil setiap tahun untuk dijadikan simpanan pada waktu susah nanti. Pepatah Melayu juga ada menyebut “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”.
Saya juga menyeru kepada kerajaan supaya berusaha keras untuk menarik lebih banyak pelabur terutama pelabur luar negara. Dasar kerajaan yang konsisten adalah perkara penting untuk menggalak dan mengekalkan pelaburan jangka panjang di negeri Johor.
Saudara saudari sekalian,
Rakyat akan sentiasa menilai prestasi perkhidmatan yang diberikan oleh setiap Wakil Rakyat. Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab untuk membawa suara dan kehendak rakyat. Bukannya bersuara dan bertindak untuk kepentingan diri sendiri. Setiap Wakil Rakyat haruslah memberikan pandangan yang baik dan sokongan yang padu untuk membantu Menteri Besar dan barisan pentadbirannya, bukan bertindak sebaliknya untuk memecahbelahkan kerajaan atau menjadi gunting dalam lipatan.
Pihak Pembangkang juga haruslah memainkan peranannya untuk memastikan segala program kerajaan benar-benar memberi faedah kepada masyarakat umum dan dilaksanakan dengan betul dan teratur.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap Ahli Dewan untuk meneliti dan menambah-baik setiap Undang-Undang Negeri. Namun begitu, sebelum berbahas mengenai sesuatu undang-undang, setiap Ahli Dewan mestilah tahu tentang tujuan latar belakang dan asas penggubalan enakmen tersebut.
Suka juga saya ingatkan kepada semua Ahli Dewan supaya menjaga tingkah laku dan tatatertib pakaian ketika berada di Dewan ini serta patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan. Jagalah adab ketika berbahas dan elakkan bercakap tentang isu-isu parti politik atau perkara-perkara yang sensitif berkaitan kaum dan agama.
Saudara saudari sekalian,
Saya percaya, sekiranya di dalam hati setiap pemimpin mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada negeri Johor, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga kepentingan negeri ini. Oleh itu, saya menyeru kepada semua pemimpin, pegawai-pegawai, dan seluruh anggota kerajaan di negeri Johor, supaya tanamkan perasaan cinta dan sayang kepada negeri Johor dan curahkan khidmat bakti kepada rakyat dengan tekun, jujur dan amanah demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyatnya.
Saya juga menyeru kepada semua rakyat supaya mengekalkan budaya hidup yang harmoni, saling hormat-menghormati, dan berpegang kepada lima prinsip rukun negara. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negeri Johor akan terus kekal aman dan makmur, dengan semua rakyatnya dapat hidup harmoni, bersatu padu dan bermuafakat.
Akhir kata, dengan lafaz: Bismillahirrahmaanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Penggal Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ampun Tuanku, Mufti Negeri Johor mohon perkenan membaca doa.
DOA. (Mufti Negeri Johor membaca doa).
Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian, Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat meninggalkan majlis ini, maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga hari Ahad, 30 Jun 2019 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.