Pulau Pinang · 17 April 2020

14th Assembly, 3rd session, 1st meeting · 33 turns · 6,711 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPenang publishes one PDF per sitting day with an attendance list, so each sitting shows who was absent. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri. Bacaan doa.

“Bacaan Doa”.

Setiausaha Dewan

Pengumuman Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri menetapkan hari ini 17 April 2020 sebagai hari permulaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas melalui pengisytiharan bertarikh 25 Februari 2020 yang telah diwartakan pada 27 Februari 2020 Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Yangdi-Pertua Negeri akan tiba di Dewan sebentar lagi untuk menyampaikan ucapan kepada Dewan.

Setiausaha Dewan

Ucapan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Yang di-Pertua Negeri (Governor)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera. Bismillahirahmanirrahim. Yang Berhormat Dato' Law Choo Kiang, Yang di-Pertua Dewan Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Haji Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy a/l Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Abdul Razak bin Jaafar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Muhammad Yusoff bin Mohd Noor, Ketua Pembangkang, Yang Berhormat Dr. Amar Pritpal bin Abdullah, Tinbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian. Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, mengikut keadaan semasa negara dan negeri kita yang masih berada dalam temopoh PKP yakni Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan maka saya akan meringkaskan ucapan saya pada pagi ini. Sehubungan ini, untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang seterusnya serta petugas-petugas barisan hadapanyang berjuang bersunguh-sungguh memastikan rakyat semua selamat dan sejahtera daripada ancaman virus COVID-19. Saya juga menyeru kepada rakyat Pulau Pinang khususnya patuhilah arahan yang diberikan oleh pihak yang berkuasa. ‘Sila Duduk Dirumah’ Ahli-ahli Yang Berhormat, teks ucapan saya sempena perasmian Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri keempat Belas Negeri Pulau Pinang telah berada di atas meja Ahli-ahli Yang Berhormat untuk dibaca dan difahami dan diambil perhatian oleh setiap Ahli Dewan Undangan Negeri dalam mengerakan usahasama dalam memajukan Negeri Pulau Pinang. Selamat bersidang di Dewan yang mulia ini. Sekian, terima kasih. Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Tun akan meninggalkan Dewan ini sebentar lagi. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat ditangguhkan dan kita sambung bersidang pada 10.10 pagi.

Setiausaha Dewan

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri akan meninggalkan Dewan Persidangan.

Dewan ditangguhkan pada jam 10.00 pagi.

Dewan disambung semulapada jam 10.10 pagi.

Setiausaha Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri. Pengumuman oleh YB.Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula dan sedikit pengumuman daripada saya, Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagaimana Ahli-Ahli Yang Berhormat, sedia maklum seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri telah meninggal dunia iaitu Allahyarham Puan Siti Faridah binti Arsad telah meninggal dunia pada 19 Februari 2020. Allayarham telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Teluk Bahang dari 2004 sehingga 2008. Oleh demikian, para hadirin saya mohon untuk bertafakur selama satu minit. Para hadirin sila berdiri. (Ahli-ahli Dewan berdiri bertafakur). Para hadirin sila duduk. Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada sesi ini kita akan mempertimbangkan sejumlah 59 soalan lisan dan 540 soalan bertulis. Mesyuarat akan bersidang sehingga semua urusan mesyarat selesai.

Setiausaha Dewan

Pembentangan Risalah.

Ketua Menteri

YB. Yang di-Pertua Negeri, saya mohon membentangkan di atas meja Dewan, Risalah Bilangan 1 hingga 3 tahun 2020 seperti yang tersenarai dalam Susunan Urusan Mesyarat.

Setiausaha Dewan

Soalan-soalan. Soalan bertulis.

Ketua Menteri

YB. Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, jawapan kepada soalan-soalan bertulis telah diletakkan di atas meja Ahli yang bertanya, selaras dengan Subperaturan 15(1),(h), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan akan dimasukkan dalam Penyata Rasmi.

Setiausaha Dewan

Soalan lisan.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada kebiasaannya urusan Dewan yang seterusnya adalah sesi soalan lisan. Namun oleh kerana situasi yang kita alami sekarang, iaitu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka saya berhasrat untuk melangkau turutan ini. Oleh yang demikian, saya mohon agar jawapan kepada semua soalan lisan diberikan secara bertulis.

Ketua Menteri

YB Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, jawapan kepada soalan-soalan lisan akan diletak di atas meja Ahli-Ahli yang bertanya dan akan dimasukkan dalam Penyata Rasmi.

Setiausaha Dewan

Usul daripada Yang Berhormat Ahli Kawasan Pinang Tunggal.

Timbalan Ketua Menteri I

YB. Yang di-Pertua Dewan, saya mohon mencadangkan bahawa kami, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, memohon mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kerana berkenan melafazkan ucapan kepada Dewan ini di Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Keempat, Yang Keempat Belas pada 17 April 2020.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menyokong usul ini?

Timbalan Ketua Menteri II

Saya menyokong usul ini.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih Yang Berhormat Perai. Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita berada dalam sesi perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kerana berkenan melafazkan ucapan kepada Dewan ini di Mesyuarat Yang Pertama, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang Keempat Belas pada pagi tadi, 17 April 2020. Namun oleh kerana penularan wabak COVID-19 serta pematuhan akan Perintah Kawalan Pergerakan, maka saya memutus untuk menghad sesi perbahasan pada kali ini. Oleh yang demikian, saya memberi ruang kepada Ketua Pembangkang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan usul. Dipersilakan, Yang Berhormat Ketua Pembangkang.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillahirrabbilalamin Salatu wassalamu ala Ashrafil Anbiya wal Mursalin, wa ala alihi wa sahbihi ajma'in. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis-Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang hormati sekelian. Alhamdulillah, Pertamanya bersyukur kita kata Allah Subhanahu wa ta'ala kerana dengan izin limpa rahmat inayahnya, kita masih lagi diberikan kesempatan dan kesihatan untuk kita sama-sama hadir di Dewan yang mulia pada pagi ini untuk kita meneruskan tugas dan tanggungjawab kita. Walaupun kita

berada di rumah agak sekian lama, rakyat pun sama, macam-macam fikiran yang tegang tapi kita masih lagi boleh terus meneruskan agenda kita, insyaAllah. Keduanya kita bersyukur kerana wabak COVID, penularan wabak COVID di Pulau Pinang ini berada di tahap yang tidak begitu membimbangkan, tidak begitu kritikal. Kalau kita lihat laporan yang semalam, yang terakhir semalam, kita cuma terdapat 116 kes yang kumulatif seawal keseluruhan. Satu kematian, tidak ada kes baru dan kita, kes aktif cuma 19, jadi kita berharap semoga dalam masa dua minggu ini tidak ada kes baru dan kemungkinan kita boleh masukkan ke dalam zon hijau, zon yang agak kurang kes baru. Begitu juga di peringkat negara, terdapat penurunan kes-kes baru walaupun tak begitu tinggi dan yang pentingnya penyembuhan. Kita antara negara yang tertinggi dari segi penyembuhan kes-kes COVID ini dan juga dari segi kematian juga agak tidak begitu tinggi berbanding dengan negara-negara jiran kita yang terdekat, Indonesia dan juga Filipina. Kita cuma 84 kes kematian. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin ucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan pada pagi ini untuk menyampaikan ucapan dan perbahasan. Cuma saya akan fokuskan lebih kepada isu COVID-19 dan sekalung penghargaan dan terima kasih atas ucapan yang telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Tun, sebentar tadi dan juga ucapan yang telah diberikan kepada kita. Juga saya tidak lupa ucapkan terima kasih di atas kepercayaan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam menanti saya bersama-sama menganggotai Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang bersama Kepimpinan Negeri dan juga jabatan Agensi. Ini merupakan satu penghormatan dan pengkirafan yang amat bermakna kepada saya dan juga pihak pemangkang. Kepada Kepimpinan Negeri yang diketuai oleh Yang amat Berhormat Ketua Mentei, barisan EXCO, Pertabiran Kerajaan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri dan semua jabatan egensi telah Yang telah menyusun strategi dengan segera dan juga melaksanakan perang melawan COVID-19, Syabas dan Tahniah! Tahniah juga kepada rakan-rakan Yang Berhormat yang telah turun padang dan nampak banyak gambar-gambar turun padang. Saya pun telah diberi amaran oleh pihak berkuasa kerana tidak boleh terlalu hampir, social distancing..(dengan izin), terlalu dekat. Jadi, tahniah kepada rakan-rakan yang telah turun ke bawah untuk menyampaikan bantuan dan sebagainya dan juga syabas kepada barisan hadapan, front liners yang menjalankan tugas dengan cemerlang, tanpa mengambil kira keselamatan dan juga masa dan juga masalah risiko yang perlu dihadapi. Apabila negara kita yang dilanda COVID-19 ini, tugas sebagai wakil rakyat pastinya semakin mencabar. Kerana kalau bencana banjir, kita cuma menghadapi dalam masa yang singkat. Tapi kalau bencana COVID-19 ini, kita telah menjalani selama 29 hari hingga ke hari. Nak, dekat sebulan. Dan kita terpaksa juga menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan. Kita sama-sama Yang Berhormat juga terpaksa mengikuti perintah ini yang memerlukan kita berada di kawasan ataupun di rumah masing-masing. Dan kita tidak pasti sejauh mana perintah ini akan dilaksanakan dan kita mengharapkan supaya ianya dapat mencapai tahap yang lebih baik secepat mungkin supaya kita dapat terus melaksanakan aktiviti kepada rakyat dengan lebih baik.

Dalam masa yang sama ini, pada masa ini juga lah rakyat akan menilai. Nilai kemampuan kita sebagai wakil rakyat dan juga nilai kepimpinan dan pentadbiran kerajaan negeri. Jadi ini perkara yang penting yang perlu kita lihat bersama-sama supaya segala masalah yang ada di akar umbi dapat kita dengar bersama-sama. Dapat kita selesaikan masalah yang ada semampu yang mungkin. Kita tidak mampu untuk menyesuaikannya 100% tetapi kita cuba untuk menyelesaikannya sebaik mungkin supaya tidak dapat mereka-mereka yang tertinggal dalam bantuan yang kita salurkan. Pakej bantuan rakyat yang kita salurkan.

YB. Dato’ Yang di-Pertua, kita sama-sama telah mengikuti perkembangan berkenaan wabak COVID-19 setiap hari dari semasa ke semasa sepanjang PKP dilaksanakan. Saya mendapati bahawa kita diperingkat Negeri Pulau Pinang telah mengikuti saranan-saranan daripada peringkat Kerajaan

Persekutuan untuk sama-sama bekerja dan berusaha bagi memastikan musuh utama negara pada hari ini dapat kita tumpaskan. Kerajaan Persekutuan telah membentangkan pakej Rancangan Ekonomi Perhatian Rakyat bernilai RM250 bilion dan tambahan sebanyak RM10 bilion untuk PKS dan juga pekerjaan kepada 2 juta rakyat. Ini merupakan satu pakej yang begitu baik dan kita amat menghargainya, kita sama-sama menghargai kerana ia memberi faedah kepada semua rakyat yang layak untuk menerima bantuan dan juga sumbangan yang telah disalurkan dan akan disalurkan dan saya juga melihat bahawa kita di peringkat Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah sama-sama bekerja dan berusaha untuk memastikan Covid ini dapat kita tangani dengan baik dan Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan dengan mengumumkan pakej bantuan rakyat sebanyak RM75 juta. Dan pakej ini saya lihat merangkumi 18 pecahan iaitu yang pertamanya bantuan langsung one-off, terdapat 8 bantuan langsung termasuk bantuan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang agak banyak kepada masyarakat, kepada masjid, surau dan sebagainya. Juga peruntukan khas kepada ADUN satu pecahan dan saya bagi pihak rakan-rakan Yang Berhormat sekalian termasuk pembangkang, kita amat berterima kasih di atas peruntukan yang disalurkan. (Ahli-ahli Dewan menepuk meja), kerana peruntukan turun tiba pada masa yang ketika yang cukup kena, masuk saja kita dah boleh salurkan peruntukan sebanyak RM30,000. Terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri. (Ahli-ahli Dewan menepuk meja) Yang ketiga, pengecualian sewa rumah premis perniagaan, terdapat dua pecahan. Yang keempat isentif kepada frontliner, peralatan dan sebagainya ada tiga termasuk pihak petugas Majlis Bandaraya. Dan juga yang kelima penangguhan pinjaman sewa, beli cukai dan sebagainya satu pecahan.

Di kesempatan ini juga saya ingin membangkitkan beberapa perkara yang saya lihat perlu diambil tindakan penambahbaikan untuk kepentingan rakyat di kelompok ini. Kaitan dengan COVID, Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan secara one-off kepada peniaga kecil dan juga penjaja berlesan. Dan pihak Zakat Pulau Pinang juga telah menyediakan usaha bantuan one-off ini untuk kaedah semua peniaga kecil dan penjaja.

Alhamdulillah, saya yakin kumpulan terlibat pastinya sudah mula membuat permohonan dan hanya menanti masa untuk menerima bantuan tersebut. Dan saya dengar yang Zakat dah ada yang terima bantuan one-off. Cuma isu yang saya nak sentuh di sini adalah pertamanya isu bantuan kepada peniaga kecil, penjaja yang tidak berlesan dan pengusaha industri makanan kecil-kecilan. Jadi saya melihat kumpulan ini juga terkesan, yang paling terkesan dan situasi pada hari ini menghadkan aktiviti peniagaan.

Sudah tentu mereka yang terjejas dan mereka ini juga turut terjejas kerana hilang pendapatan, tidak dapat peniaga, kerja kecil-kecilan dan sebagainya, tidak dapat membuat kuih dan sebagainya. Dan kita perlu melihat satu jalan, satu kaedah untuk kita memberi, selain daripada bantuan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri juga, kita juga perlu melihat satu kaedah untuk memberi bantuan kepada kumpulan-kumpulan ini, usaha-usaha kecil makanan, usaha penjaja-penjaja kecil, peniaga kecil yang tidak mempunyai sumber pendapatan langsung ini yang banyak di kawasan luar bandar yang perlu kita lihat. Dan yang keduanya tentang sektor perniagaan yang tidak dapat dijalankan, ataupun perniagaan individu, contohnya kita kata perniagaan berkaitan dengan pengangkutan lori, contohnya, yang dia bergantung kepada industri ataupun kilang-kilang yang melaksanakan. Bila kilang ini ditutup dan sebagainya, usaha lori ini tidak dapat dijalankan, perniagaan dan tidak ada bantuan. Macam Kerjaan Negeri dia bagi untuk tourism, untuk pelancongan, pemandu pelancong, untuk e-hailing dan sebagainya. Tapi golongan tidak termasuk dalam bantuan tersebut, termasuklah mereka yang bekerja kontrak pembersihan, dia bekerja kontrak bersih sekolah contohnya, dia tidak bekerja bila sekolah ditutup, pejabat ditutup, dia tidak ada kerja dan perlu mendapatkan pendapatan lain, selain daripada pendapatan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri yang ada kaitan dengan zakat dan sebagainya.

Kita perlu juga melihat, mereka ini perlu mendapat satu bentuk one-off yang lebih baik supaya dia dapat pendapatan untuk menyara keluarganya dalam tempoh PKP. Saya sekali lagi mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk melihat dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu kumpulan-kumpulan ini bagi sama-sama kita membantu menyesuaikan masalah keputusan, terputusnya pendapatan bagi mereka-mereka yang terlibat. Yang ketiga, pakej bantuan rakyat kepada pengusaha sektor pertanian. Pertanian adalah merupakan sektor yang agak penting, yang keempat, yang kelima terpenting di Pulau Pinang selepas perindustrian pelancongan, perkhidmatan. Jadi, mereka yang terlibat dalam pemberkalan bahan makanan, termasuk sayuran, daging, ayam, telur dan sebagainya, tanaman padi, petani, pesawah, penternak, nelayan dan sebagainya. Jadi, mereka ini tidak dapat melaksanakan aktiviti secara yang lebih berkesan semasa perintah COVID-19, termasuklah tanaman padi. Pesawah padi menghadapi masalah, Pertamanya, masalah berkaitan dengan air. Air yang, air yang tak mencukupi. Air daripada Kedah, daripada Sungai Muda tidak mencukupi untuk pengairan di kawasan bendang. Dan, jangkaan awal pada 1 haribulan April untuk pelepasan air itu ditunda daripada bulan Mac ke bulan April. Masih belum ada air dan ini menimbulkan masalah. Petani di kawasan sebelah Penaga dan sebagainya telah mula mengerjakan tanah, telah mula membuat kerja-kerja awalan dan pembelian bahan-bahan petani. Jadi, bila terdapat penundaan tarikh ini, dan sekarang ditunda ke 1 haribulan Mei, petani ini dah mengeluarkan kos untuk kerja-kerja awalan, pembelian peralatan yang terlibat di kawasan-kawasan tersebut. Jadi, dia dah habiskan wangnya untuk pembajakan dan sebagainya. Tapi, jadual itu tertunda dan dia dah tidak ada modal lagi untuk menyara keluarga dan ini menimbulkan masalah dan, dari segi ini, termasuklah nelayan. Nelayan juga tidak dapat ke laut, mungkin dapat ke laut dalam 1 minggu, dalam 4 hari, Jumaat, Sabtu, Ahad, tidak dapat pada peringkat PKP yang awal. Jadi, ini menimbulkan masalah kepada nelayan. Begitu juga kepada penanam sayur dan sebagainya. Jadi, saya ingin mencadangkan di sini, supaya, pertamanya, kita menyelesaikan isu pekalan air di sawah padi, bersama dengan penyelesaian isu bekalan air domestik. Air domestik juga menampilkan masalah. Yang saya dengar, dah ada masalah yang agak kritikal juga, dari segi tahap empangan air di empangan dan sebagainya. Jadi, kita kena memberi keutamaan pada menyelesaikan masalah-masalah bekalan air ini, termasuk air pertanian dan juga domestik. Jadi, saya ingat, mencadangkan supaya kita berbincang dengan Negeri Kedah, saya rasa ini telah dibuat. Dan juga, kita membuat pembenihan awan. Jadi, saya rasa pihak CM, YAB. Ketua Menteri dah bersetuju untuk kita buat pembenihan awan. Jadi, terima kasih untuk kita pastikan air di hulu ada, hujan turun di sana. Hujan turun di Pulau Pinang, tak ada mana. Hujan turun di sana, baru sampai ke sini. Dan mungkin, kita perlu menambah bekalan pam bergerak dalam bajet kita nanti, untuk kita tambah pam bergerak, kerana pam agak perlu bila keadaan kritikal, yang tak mencapai tahapnya. Tak mencapai tahap yang diperlukan, yang rendah daripada tahap yang perlu. Ia kena perlu pam untuk kita pam. Jadi, kita perlu tambah pam kepada pihak JPS dan juga pihak AIDA untuk diuruskan, masuk Jabatan Pertanian. Dan kita juga perlu mengkaji sesuai atau tidak kita menggunakan teknologi deep well, kita buat perancangan untuk buat deep well yang boleh membekalkan air. Saya terima kasih kepada pihak JPS, AIDA dan juga Jabatan Pertanian yang telah melaksanakan aktiviti pengepaman air dan sebagainya hingga selesai masalah musim lepas. Masalah musim lepas, air juga menjadi masalah. Tapi diusahakan secara pam dan sebagainya di kawasan sebelah Paya Keladi dan sebagainya selesai masalah pada masa itu dan timbul masalah baru pula pada masa itu dan kita tak mahu masalah ini berterusan di masa-masa yang akan datang. Kedua, isu penetapan jadual bekalan air perlu dimaklumkan segera kepada petani. Kalau kita tunda, kita kena bagitahu awal supaya dia tak jadi masalah kepada petani yang perlu menurunkan modal awal untuk pelaksanaan tanah sawah.

Ketiga, pemasaran hasil pertanian juga perlu diatur, disusun Saya minta pihak kita membincangkan bersama untuk memasarkan dalam tempoh COVID ini kerana terdapat juga lambakan-lambakan sayur dan sebagainya di kawasan-kawasan itu kerana pergerakan agak terhad dan ia menimbulkan masalah kepada mereka yang mengusahakan aktiviti ini. Begitu juga dengan industri asas tanah ini, asaskan makanan. Pemerosesan makanan juga sekarang ni, kuih-kuih dan sebagainya telah mula menghadapi masalah tak boleh keluarkan, tak boleh pasarkan dan ini juga perlu kita fikirkan apa kaedah yang boleh membantu mereka-mereka yang terlibat. Yang keempat tentang isu kaedah pemohonan pakej bantuan rakyat. Kita amat menghargai usaha yang dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menyediakan pakej bantuan rakyat termasuklah pihak Zakat. Cuma yang jadi masalahnya, semua kita kena buat online tak boleh kita nak ke pejabat-pejabat yang tutup dan sebagainya dan pemohonan online ni kadang-kadang menimbulkan masalah kepada sebahagian, sebahagian peniaga-peniaga dan sebagainya yang nak mohon online. Di pejabat saya hari tu penuh orang kampung, peniaga main untuk isi online Zakat dan lepas ni mungkin akan jadi masalah, dia tak pandai nak buat online nak klik-klik ni, nak send dan sebagainya jadi dia jadi masalah Kalau boleh kita fikirkanlah satu kaedah, cara macam mana untuk membantu penduduk menyesaikan Kalau boleh kita buat hard copy di pejabat mana-mana, di pejabat saya pun ada hard copy, kita print hard copy dia mai dia ambil, dia balik isi rumah, besok dia main kita tolong key-in masuk soal-soal, tolong key-in untuk dia dan dia tak mampu nak buat dan ini kadang-kadang menyebabkan dia tak mohon, dia tak mohon dan dia tak dapat bantuan yang disediakan. Dan yang kelima tentang isu pembayaran bil bekalan air ini yang terakhirlah, masa pun terakhir. Isu pembayaran bil air ni, dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan ni semua orang duduk rumah, anak-anak sekolah balik universiti, cuti ayah pun duduk rumah, tak keluar mana-mana mengandap hari-hari. Duduk di rumah dan bekalan air tu, penggunaan air tu semakin bertambah kerap.

Yang di-Pertua (Speaker)

Cuci tangan, kerap cuci tangan.

Kerap cuci tangan, kerap mandi dan mungkin bertambah dari segi penggunaan air di rumah daripada biasa lah, dia akan ada pertambahan, peningkatan. Jadi bil juga akan meningkat. Pihak TNB saya rasa dah mengumumkan untuk beri diskaun pada mereka yang bil sehingga sekian-sekian 20-50%, bil 70 ke 100 sehingga 25% dan yang paling tinggi bilnya 2%. Jadi kalau boleh PBA juga memikirkan macam mana kita nak bagi sedikit kelonggaran dan diskaun, tolak surcaj ka sementara dalam tempoh PKP ni supaya beban itu juga terberkurangan kepada mereka yang nak membayar bil air yang mungkin akan meningkat penggunaan ini dan sebelum saya terlupa, ditambah satu lagi kumpulan pengusaha bas sekolah dan bas pelancongan. Saya rasa ini juga mereka yang perlu diberikan perhatian oleh kita karena mereka langsung tidak ada pendapatan dalam masa sebulan ini bas sekolah dan juga bas pelancongan. YB. Dato’ Yang di-Pertua, terdapat saranan daripada Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Tuan Lee Kah Choon iaitu supaya menggesa kerajaan membenarkan pekerja kembali bekerja. Jadi saya dalam Facebook saya, bukan saya menolak cuma saya mencadangkan supaya kita dalam tempoh ini mengikut peraturan dan juga arahan. Ada industri-industri yang kita boleh buka bukan semua industri ditutup, ada industri yang boleh dibuka. Saya rasa seluruh Malaysia ada 600 lebih yang boleh dibuka, yang diluluskan oleh pihak MITI dan sebagainya. Jadi kita tak boleh, dalam tempoh COVID ini kita tak boleh nak buka semua. Jadi saya menganggap bahawa pandangan itu kita boleh laksanakan, cuma berpandu kepada keperluan-keperluan dan juga kelulusan-kelulusan kerana kita melihat bahayanya lebih. Macam kedai gunting

rambut lah. Saya cadangkan dalam surat JKKN, kedai gunting rambut tak dibuka, ya. Alhamdulillah, diterima diperingkat federal. Saya kata tak boleh, bahaya gunting rambut ni. Memang cukup bahaya. Jadi Alhamdulillah tak dibuka dan ramai saya tengok YB. pun rambut panjang, tak gunting. Jadi tentang tadi tu, kalau boleh kita ikut lah, kita bukan nak, kerana ada banyak kemudahan dah disediakan oleh kerajaan termasuk Persekutuan dan Negeri kepada industri ni. Kalau dia tak boleh bekerja, dia dapat duit sebanyak RM600, kalau dia tak dapat, tak ada gaji lah, dia bercuti tanpa gaji dia tak dapat. Dia boleh keluarkan EPF mungkin kalau dia perlu untuk belanja seharian dalam tempoh PKP. Jadi tak perlu kita meneruskan dia supaya pekerja kilang tu dibuka semua dalam tempoh masa tertentu dan sebagainya. Ini akan menimbulkan masalah kepada penularan wabak COVID ni mungkin akan berlaku dengan lebih besar lagi. YB. Dato’ Yang di-Pertua, tidak semua rakyat dapat menikmati kehidupan yang sempurna. Masih ada di antara dengan mereka yang hidupnya perlu dibantu. Sebagai Ketua Pembangkang, saya sedar bahawa di saat ini kita perlu bersama atas dasar keperihatinan terhadap nasib rakyat, kita perlu hentikan dan saya rasa di Kerajan Negeri Pulau Pinang dah hentikan. Soal politik, keperhatian dan sebagainya Dan kita juga dalam memberi bantuan mengulurkan kepada semua pihak. Di setiap kampung, Alhamdulillah, di kawasan-kawasan lain juga bukan hanya bantuan daripada kita, Kerajaan Negeri, daripada Persekutuan, kita juga menerima bantuan daripada pihak-pihak yang lain. Pihak Zakat, pihak masjid, surau, pihak tokong, kuil, gereja, pihak NGO yang begitu banyak membantu dan saya nampak bahawa di kawasan kita tidak timbul masalah, tidak ada makan dan sebagainya, walaupun ada kes-kes terpencil yang berlaku yang sampai laporan, cepat-cepatlah kita pergi tengok. Ada laporan saja, YB-YB kita, yang prihatin semua ni kita pergi tengok cepat-cepat, selesaikan masalah-masalah Dan saya rasa gelandangan juga telah diselesaikan masalah, di peringkat Pulau Pinang. Jadi, kita perlu berganding bahu. Petang ni pun saya ada beri bantuan dengan pihak MPKK. Turun ke kampung, satu kampung untuk bersama dengan MPKK turun bagi bantuan. Terima kasih semua 18,000 penerima, 18,000 lebih penerima MKN akan diberikan bantuan. Mula diberikan bantuan pada semalam dan berterusan sehingga selesai. Ini, saya rasa satu pendekatan yang cukup baik Kerana kita memberi kepada orang yang betul-betul memerlukan sebab kita sedia maklum, rakyat kita ni kadang-kadang tak layak pun dia memohon. Satu rumah di kampung, di kawasan saya ni,saya masuk rumah dia ada tujuh kampit beras, tujuh bantuan dia dapat, daripada saya, daripada MPKK, daripada surau, daripada masjid, daripada NGO dia dapat tujuh, saya kata tujuh ni dia boleh berikan kepada enam orang lain ataupun lima orang yang lain yang lebih memerlukan. Ini kita kena pastikan, kita selaraskan dari segi senarai. Kalau boleh kita letakkan kepartian di sebelah, kita selaraskan bersama. Senarai daripada pihak Kerajaan Negeri, MPKK, senarai daripada kita, masjid, surau dan sebagainya kita selaraskan supaya tidak berlaku pertindihan. Pertindihan ni yang kadang-kadang menimbulkan masalah. Orang yang kadang-kadang susah ni dia tak mai. Dia malu nak mai minta dan sebagainya, dia kata “Tak payah lah, dah ada cukup lah”. Tapi yang minta ni kadang-kadang orang yang mampu. Dia rasa dia pun patut dapat, dalam COVID ni dia patut dapat juga. Dia mampu pun dia memohon, dia nak juga Ini yang kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat kena pandai berbudi bicara untuk menyesuaikan isu ni. Jadi saya juga sebagai pengakhirnya dikesempatan ni, saya selaku Ketua Pembangkang mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat di Pulau Pinang yang saya rasa telah bekerja siang malam untuk membantu rakyat di Pulau Pinang, di kawasan masing-masing. Jutaan terima kasih sekali lagi kepada kepimpinan Kerajaan Negeri atas semua sokongan serta bantuan yang telah disalurkan kepada rakyat sama rasa terus mahupun melalui Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Terima kasih juga kepada berbagai pihak yang turut menghulurkan bantuan kepada rakyat di Pulau Pinang yang terkesan oleh ancaman wabak COVID seperti pihak masjid, surau, tokong, kuil, gereja dan sebagainya. Syarikat-syarikat swasta juga turun. Pertubuhan Bukan Kerajaan yang banyak membantu. Individu-individu dan juga pihak lain-lain pihak yang terlibat dan syabas, terima kasih

sekalung penghargaan yang tak terhingga kepada semua petugas-petugas daripada pihak MKN, PDRM yang semakin tegas sekarang ni, dapatnya dia tangkap. Bila kita keluar tanpa ada kebenaran berkumpul dan sebagainya. Pihak ATM, Rela, JPAM, kakitangan Kesihatan yang paling utama yang berada di barisan hadapan yang telah membantu untuk penyembuhan yang tinggi di Pulau Pinang. Kakitangan agensi Kerajaan Persekutuan dan juga Negeri dan media dan juga sukarelawan penyumbang-penyumbang di atas jasa dan juga bantuan yang tidak dapat kita balas ini. Dan akhirnya saya mohon maaf sekiranya ada tersalah atau menguris hati mana-mana pihak bahawa saya tidak punya niat yang seperti itu kerana kita sedang mendepani wabak COVID dan ini merupakan sesuatu yang lebih penting untuk kita hadapi bersama. Mari lah sama-sama kita berganding bahu untuk membantu rakyat dan melawan memutuskan rantaian COVID-19 ini. Kita berusaha bersama untuk mendisiplinkan diri dan juga mendisiplinkan rakyat dalam tempoh PKP dan saya nampak, dah mula menampakkan hasil yang positif pada hal ini dan kita sama-sama berdoa, mohon penularan wabak COVID ini dapat dikurangkan dan berjaya dihentikan dan kita sama-sama diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran yang amat berat dan selanjutnya kita mampu untuk meneruskan kehidupan dan membina kembali kehidupan dan ekonomi seperti sedia kala. Sepertimana saranan Tuan Yang Terutama Tun, saya harap kita di peringkat negeri juga melihat pelan jangka panjang ataupun pelan masa hadapan untuk kita memulihkan keadaan ekonomi dan juga perkara-perkara yang telah menghadapi masalah semasa COVID, kita kena susun seperti perancangan untuk memulihkan perniagaan dan sebagainya. Perniaga kecil dan sebagainya itu kita perlu susun, sebelum selesai COVID ini kita dah susun senarai jadual pelan jangka panjang untuk memulihkan ekonomi negeri Pulau Pinang. Kita susun bersama-sama, InsyaAllah. Jadi teruskanlah kita membantu rakyat dan saya amat menyokong usaha-usaha sebegini selagi ia hanya mampu menemui keperluan rakyat Pulau Pinang dan samalah kita memerangi COVID-19, Penang Melawan COVID. Sebelum saya akhiri, saya juga ingin berkesempatan untuk ucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada umat Islam, kepada kaum Muslim dan Muslimat. Jadi bulan puasa tahun ini, kita pakat-pakat sembahyang Terawih di rumah. Lelaki ni kena jadi Imam, tak boleh pergi berjemaah di surau masjid, kita kena jadi Imam di rumah, InsyaAllah. Kena belajar-belajarlah untuk menjadi Imam di rumah, dulu kita ikut orang jadi makmum Jadi kita menghadapi bulan Ramadan dalam keadaan masih begini memulakan satu dugaan daripada Allah SWT. Satu ucapan, satu dugaan yang perlu kita fikirkan, kenapa berlaku dugaan semacam ini. Mungkin ada perkara-perkara yang berlaku yang boleh menimbulkan cabaran dan dugaan daripada Allah SWT Sebagai kita berfikir, apa kesilapan dan perkara yang telah kita buat selama ini. Jadi selamat menyambut Ramadan, selamat meneruskan tugas dalam membantu rakyat dalam tempoh COVID ini dan kita doakan semoga COVID ini akan pulih, akan dapat dihentikan dan kita dapat sama-sama meneruskan kehidupan kita dalam keadaan yang sedia kala, dapat meneruskan aktiviti, melaksanakan projek ekonomi dan sebagainya untuk masa depan Negeri Pulau Pinang. Sekian saya mohon menyokong, sekian Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih YB. Sungai Dua atas ucapan yang bernas. Ahli-ahli Yang Berhormat kita berada dalam sesi penggulungan Usul ucapan terima kasih atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, maka dengan ini saya ingin menjemput YAB. Ketua Menteri untuk membuat penggulungan. Sila.

Ketua Menteri

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, YB. Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat rakan-rakan EXCO Kerajaan Negeri. Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Selamat pagi dan salam sejahtera. Hari ini merupakan hari yang ke-31 Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 hari bulan MaC 2020. Walaupun menhadapi kekangan Namun Kerajaan Negeri perlu menuruti Perlembagaan Negeri Pulau Pinang Perkara 19(1) untuk bersidang dalam tempoh 6 bulan Yang mana tempoh 6 bulan ini akan tamat pada 7 hari bulan Mei.

Oleh yang demikian, dalam situasi pandemik COVID-19, persidangan kali ini dilaksanakan secara singkat selama setengah hari sahaja dan soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri akan dijawab secara bertulis. Langkah-langkah pembasmian kuman di lokasi penjarakan fisikal, pengukuran suhu badan telah dilaksanakan terhadap semua pihak yang menghadiri persidangan pada pagi ini. Pada hari ini, dunia sedang berhadapan dengan krisis yang amat buruk bukan sahaja dalam aspek kesihatan bahkan dalam aspek sosial dan juga ekonomi ekoran daripada penularan wabak novel coronavirus atau lebih dikenali umum sebagai COVID-19. Ia merupakan sejenis virus baharu daripada keluarga coronavirus yang hanya dikesan selepas penularannya di Wuhan, China pada bulan Disember 2019. Apa yang ditakuti virus ini begitu mudah sekali tersebar menjangkiti manusia dan menurut World Health Organization (WHO), ianya 10 kali ganda lebih berisiko Menyebabkan kematian berbanding virus HIN1. Dato’ Yang di-Pertua, COVID-19 telah menyebabkan seluruh dunia berhenti ecara serentak buat pertama kali ini sejak Perang Dunia Kedua. Tiada siapa pun yang bebas melakukan aktiviti harian mereka. Pengulas ekonomi termasuk International Monetary Fund (IMF) bersetuju bahawa krisis ekonomi yang bakal dihadapi pasca COVID-19 ini adalah yang paling buruk sejak zaman kemelesetan (Great Depression) pada tahun 1929. Tiada satu negara di dunia ini bersedia untuk menghadapi penularan wabak COVID-19 termasuklah kuasa-kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Sehingga semalam, 16 April 2020 jumlah kes terkumpul di seluruh dunia adalah sebanyak 2,029,930 kes dengan 136,320 kematian. Ini satu angka yang begitu menakutkan. Di Malaysia pula, jumlah kesuruhan kes telah mencapai angka 5,182 dengan 84 kes kematian. Manakala di negeri Pulau Pinang, jumlah kes yang dicatatkan adalah sebanyak 119 dan kadar kematian masih kekal dengan satu kes. Buat masa ini, Kerajaan Negeri tidak perlu mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan di mana-mana lokaliti di Negeri Pulau Pinang. Mengikut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), situasi terkini kes COVID-19 adalah terkawal dan dipantau secara rapi diperingkat negeri. Melalui kerjasama erat antara agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Task Force COVID-19 dan Jawatankuasa Keselamatan Negeri Pulau Pinang berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semua agensi kerajaan sedia maklum mengenai tanggungjawab serta peranan masing-masing dalam usaha menangani wabak ini YB. Dato’ Yang di-Pertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita bersyukur kepada Tuhan bahawa jumlah kes di negeri boleh dikatakan rendah berbanding negeri-negeri yang lain. Ianya adalah hasil usaha gigih tanpa berputus asa dari semua petugas barisan hadapan (frontliners). Untuk memastikan wabak COVID-19 ini dapat dibendung. Sesungguhnya rakyat Pulau Pinang amat terhutang budi kepada frontliners ini. Justeru pada kesempatan ini dengan penuh keikhlasan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta pasukan Rela dan tidak ketinggalan Angkatan Keselamatan APAM, sekarang diberi nama APAM dan lain-lain agensi yang telah bertungkus-lumus melaksanakan tugas mereka.

Tidak lupa juga penghargaan dan ucapan terima kasih kepada jentera kerajaan yang lain serta Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-Ahli Majlis-Majlis Bandaraya. MPKK, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak-pihak swasta, Individu dan perseorangan atas semua sumbangan serta tenaga yang dikerahkan dalam membantu Kerajaan Negeri menhadapi krisis COVID-19 ini. Sejak wabak ini menular, Kerajaan Negeri tidak putus-putus menerima sumbangan baik dalam bentuk wang ringgit, makanan maupun peralatan keperluan untuk frontliners Seperti peralatan perlindungan peribadi (PPE), pelitup muka, sarung tangan, sarung kasut, termometer, pensanitasi tangan dan perlindung muka dan setakat ini jumlah sumbangan terkumpul bagi tabung Penang Lawan COVID-19 adalah sebanyak RM2,408,268,173. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada penyumbang-penyumbang tabung ini. Di sebalik sesuatu yang berlaku, pasti ada nikmat disebaliknya. Begitu juga dengan krisis COVID-19 ini. Jabatan dan agensi kerajaan, baik dari pentadbiran negeri maupun persekutuan. Tidak lagi bekerja secara perasingan atau silo. Semua jabatan dan agensi memiliki fungsi masing-masing dan saling memiliki dan saling melengkapi antara satu sama lain. Sesungguhnya kejayaan membendung penularan COVID-19 agar kes tidak meningkat secara drastik adalah hasil dari whole of government effort. Dalam usaha ini, masyarakat juga memainkan peranan yang amat penting. Tanpa whole of society effort, sudah pasti tiada satu kerajaan pun di dunia ini yang mampu menangani krisis COVID-19. Kita dapat melihat bagaimana NGO, syarikat swasta, malahan orang perseorangan turut serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat PKP seperti kelompok yang kehilangan sumber pentapatan dan penerima bantuan kerajaan.

Malah, kadar pematuhan yang sangat tinggi oleh rakyat terhadap PKP juga merupakan satu usaha sosial dalam mengekang penularan wabak ini. Syabas saya ucapkan. Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dari terus menancam rakyat kita. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah melancarkan kampen Penang Lawan COVID-19 melalui pemasangan billboard di seluruh negeri, menadakan siaran Facebook Live bagi menyampaikan mesej harian, serta mengujudkan laman web kampen yang boleh diakses melalui penanglawancovid19.com.

Selain itu, pada 25 hari bulan Mac, Kerajaan Negeri telah mengumumkan Paket Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang berjumlah RM75 juta untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik ini. Objektif utama Paket Bantuan Rakyat Negeri Pulau Pinang adalah: 1. Memberi bantuan segera kepada gulungan yang paling terkesan (the most vulnerable group), iaitu penjaja, penaingga kecil, pemandu teksi, penarik beca, pemandu e-hailing, OKU dan Kumpulan B40. 2. Mengupayakan gulungan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti. 3. Membolehkan kelangsungan perniagaan (bisnes continuity) di Negeri Pulau Pinang bagi memastikan ekonomi negeri akan terus dibangunkan pasca COVID-19. Dato’ Yang di-Pertua, ramai pakar kesihatan berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 ini tidak akan berakhir sekurang-kurangnya dalam tempoh 18 bulan lagi. Justeru itu banyak perkara yang akan berubah. Cara hidup rakyat, cara pentadbir kerajaan, begitu juga cara menjalankan perniagaan. Sememangnya situasi ini merupakan new normal kepada kita yang mana kita terpaksa mengadaptasi rutin harian agar bersesuaian dengan situasi pandemik ini dalam tempoh masa yang berkemungkinan lebih lama. Kita perlu lihat kembali potensi digitalisation dalam pelbagai sektor dan memaksimumkan penggunaan teknologi seperti internet softening, big data dan artificial intelligence.

Realitinya, dunia mungkin akan mengalami kelembapan ekonomi. Semua sektor ekonomi akan terjejas dan diikuti dengan pelbagai masalah sosial. Namun, Kerajaan Negeri berikrar akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Dari semasa ke semasa, Kerajaan Negeri akan melihat kesan COVID-19 ini secara menyeluruh pada setiap lapisan masyarakat dan juga setiap sektor ekonomi.

Kerajaan Negeri juga sedang merangka strategi next normal Pulau Pinang bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala. Dalam usaha ini, Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan yang seimbang antara nyawa dan kehidupan. Dalam erti kata lain, dalam kita memfokuskan kepada isu kesihatan awam (public health), kita juga perlu mengambil kira faktor kesejahteraan ekonomi (economic health). Strategi new normal Pulau Pinang ini memiliki tiga misi utama iaitu: 1. Mengukuhkan ekosistem di Negeri Pulau Pinang; 2. Menyelaraskan ekosistem tersebut kepada perubahan abad ke-21; dan 3. Membina ketahanan (resilience) untuk menghadapi sebarang kemungkinan krisis pada masa depan. Strategi ini akan melihat kepada pembaharuan daripada ekspert institusi ekonomi serta sosial di Negeri Pulau Pinang. Malah kita sudah boleh melihat contoh anjakan ini dalam operasi serta pendekatan kerajaan negeri pada minggu ini juga. Misalnya, kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan telah melancarkan program untuk membantu para penjaja dan peniaga kecil memasuki pasaran e-dagang menerusi kampen seperti Jom Beli Online dan e-bazar Ramadan.

Pada hujung minggu ini pula, bermula 18 April, Pembadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang akan menanjakan pertandingan e-Sukan atau Liga Duduk Rumah. Manakala pada hari Ismin tepan 20 April, Digital Pinang akan menanjakan sidang meja bulat maya (virtual roundtable berhubung dengan e-crowd source hacking the next normal yang mana penggiat teknologi, jutera komputer, koder dan lain-lain pihak berkaitan akan berkumpul secara maya bagi membincangkan penyelesaian teknologi sebagai menempuh cabaran-cabaran baru yang sedang kita hadapi.

Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Pembadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan InvestPinang untuk melibatkan industri pembuatan di negeri kita untuk menilai kemungkinan mengubah kapasiti pengeluaran mereka untuk membantu menghadapi krisis COVID-19. Kerajaan Negeri membayangkan bahawa: Satu, berdasarkan kekuatan semasa negeri kita sebagai hub pembuatan global yang canggih dengan full of knowledge serta jumlah pekerja mahir yang tinggi, kita dapat dengan cepat menjadi diri kita sebagai pusat pembuatan utama bagi bekalan perubatan semasa perang COVID-19 seperti pelitup muka, peralatan perlindungan diri (PPE), ventilator, pensanitasi tangan dan barangan lain yang diperlukan.

Pulau Pinang mahu membantu barisan frontliners kesihatan di seluruh Malaysia dalam usaha menawan COVID-19. Sementara itu, kita berharap dapat tampil lebih kuat dalam sektor pekalan perubatan sehingga dapat menyediakan pekerjaan dan menjana pentapatan bagi rakyat. Kedua, berdasarkan kekuatan semasa Negeri Pulau Pinang sebagai pusat makanan, hasil pertanian dan perikanan, Pulau Pinang akan bekerja lebih keras lagi untuk memastikan bahawa kita dapat menyediakan lebih banyak makanan dan makanan olahan untuk semua rakyat Malaysia dalam pertarungan jangka masa panjang ini.

Ketiga, berdasarkan kekuatan Pulau Pinang dalam industri elektronik dan elektrikal sekarang ini, kita juga ingin meningkatkan tahap seflusnya untuk mendorong inovasi dan pengeluaran teknologi, alat dan produk yang akan membantu rakyat Pulau Pinang dan Malaysia untuk memasuki next normal selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Semua ini akan menjadikan usaha Negeri Pulau Pinang dalam pasca COVID-19.

Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar Kerajaan Persekutuan turut sama perkongsi visi ini dan melihat nilai-nilai yang dimiliki oleh Negeri Pulau Pinang untuk membantu negara dalam tiga bidang yang baru saya gariskan ini. Kerajaan Negeri juga berikrar akan melaksanakan pembaharuan ekonomi melalui galakan penggunaan platform digital dalam sektor ekonomi, meneruskan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan mempergiatkan lagi usaha menarik pelaburan asing serta domestik dalam usaha memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada rakyat jelata.

Dalam era pasca COVID-19 kelak, ekspek kebersihan perlu diutamakan. Usaha ini semestinya memerlukan whole of society effort melalui cleaner, healthier and more caring Penang. Kerajaan Negeri melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan akan melibatganda usaha untuk memastikan kebersihan di tempat-tempat awam supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang sihat seperti sedia kala. YB. Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Dewan, kita tidak dapat mengawal penyebaran COVID-19 tetapi kita dapat melakukan segala yang mungkin untuk mengurangkan jumlah pesakit di hospital kerana penyakit lain. Sekiranya ada individu dalam masyarakat kita yang tidak mampu mempunyai makanan, tempat tinggal dan penjagaan kesihatan asas dan dijangkiti COVID-19, maka seluruh masyarakat akan menderita. Kita mesti memupuk semangat “Kita Jaga Kita” untuk membina solidariti dengan kelompok masyarakat yang memerlukan.

Semua ini memerlukan usaha seluruh masyarakat dan saya menyeru agar semua pihak bersama-sama menjadi Pulau Pinang lebih bersih, lebih sihat dan lebih peduli. Saya yakin melalui usaha kita semua, Negeri Pulau Pinang akan mampu untuk keluar daripada krisis ini dan terus berkembang maju serta cemerlang. Pada kesempatan ini, saya juga menyeru agar rakyat terus patuh dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengamalkan kebersihan diri yang optimum sepanjang masa serta mengamalkan penjarakan fisikal (physical distancing).

Semoga kita sama-sama dapat mengharumi waktu sukar ini dengan sebaik mungkin. Saya juga ucapkan terima kasih kepada YB. Ketua Pembangkang yang telah memberi beberapa pandangan dan cadangan yang akan semestinya diambil kira dan diberi pertimbangan oleh pihak Kerajaan Negeri. Akhir sekali Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan, saya mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk terus komited dalam memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat seluruh negeri ini terus terjamin.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan sedaya upaya membantu sektor ekonomi agar kembali berkembang pesat seperti kelazimannya. Marilah kita terus bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mencegah serta menangani wabak COVID-19 ini secara menyeluruh demi kepentingan rakyat. Penang Lawan COVID-19, Penang 2030, Negeri Pintar dan Hijau, Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Sebelum saya mengakhiri, Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon keizinan supaya Dewan yang mulia ini dan Ahli-ahli Dewan bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa COVID-19 dan kepada mereka yang masih menerima rawatan, semoga cepat sembuh dan kembali di samping keluarga masing-masing. Sekian, terima kasih. (Ahli-ahli Dewan menepuk meja).

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat, sila berdiri untuk seminit untuk bertafakur. (Ahli-ahli Dewan berdiri untuk bertafakur selama seminit). Sila duduk. Terima kasih YAB. Ketua Menteri yang telah pun membuat pengulungan. Ahli-ahli Yang Berhormat, tibalah masalah yang kita hadapi sekarang adalah usul bahawa kami, “Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang memohon mengucapkan

terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kerana berkenan melafazkan ucapan kepada Dewan ini di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-14 pada pagi tadi 17 April 2020 dipersetujui”. Ahli-ahli yang bersetuju katakan “Ya”.

Ahli-ahli Dewan:

“Ya”.

Yang di-Pertua (Speaker)

Yang tidak bersetuju katakan “Tidak”. Sebulat suara usul dipersetujui.

Ketua Menteri

Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Dewan ini ditangguhkan sekarang.

Timbalan Ketua Menteri I

Dato’ Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri saya mohon menyokong.

Setiausaha Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat, YAB. Ketua Menteri telah mencadangkan supaya Dewan ditangguhkan dan usul telah mendapat sokongan.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih atas kerjasama semua sepanjang perjalanan persidangan kali ini dan di kesempatan ini juga saya ingin mengucap kepada semua khasnya kepada umat Islam dan muslimim dan muslimat untuk menyambut bulan Ramadan yang akan kita sampai seminggu lagi.

Dan untuk ini sekali lagi terima kasih kepada semua dan Dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Sekian terima kasih.

Dewan ditangguhkan pda jam 11.25 pagi.