Selangor · 3 September 2018
14th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 10 turns · 2,504 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.
(Pembukaan)
Bismillahi Rahmanir Rahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Aturan Urusan Mesyuarat Bagi Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas pada 3 September 2018 dimulakan dengan Doa.
I. DOA II. PROKLAMASI
Proklamasi Oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, D.K., D.M.N., D.K. (Terengganu), D.K. (Kelantan), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Johor), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., dengan kurnia Allah, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.
BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri :
MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 3 September hingga 7 September 2018 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Yang Keempat Belas yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.
DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 20 hari bulan Julai 2018. [ DUN. Sel. 30287/12 Jld.13 ] Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,
Upacara Mengangkat Sumpah
Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya ialah upacara mengangkat sumpah dan menandatangani Surat Sumpah oleh Ahli Dewan Negeri Kawasan Sungai Kandis yang baharu dilantik. Dengan ini dipersilakan:-
Yang Berhormat Tuan Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni, Ahli Dewan Negeri Kawasan Sungai Kandis tampil ke hadapan untuk mengangkat sumpah dan menandatangani Surat Sumpah.
[ SETELAH SELESAI MENANDATANGANI SURAT SUMPAH ]
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dif-dif Kehormat dan para jemputan, dengan ini dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan. Oleh itu saya menempohkan Dewan buat seketika.
( DEWAN DITANGGUHKAN SEKETIKA )
Keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor serta Y.B. Tuan Speaker.
Dengan hormatnya dijemput Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor untuk mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan SelangorAddress / budget
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Bismillahirrahmannirrahim;
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmatNya Beta dapat berangkat ke Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Keempat Belas pada pagi ini.
Alhamdulillah Negara Malaysia dan Negeri Selangor yang kita kasihi ini telah berjaya melalui satu proses demokrasi melalui pilihan raya untuk memilih wakil-wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan dalam suasana yang aman, makmur dan harmoni. Beta berkenan suasana yang aman, makmur dan harmoni ini terus dipertahankan dengan mengekalkan perpaduan yang terjalin di antara kaum di negeri ini.
Beta berkenan mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor yang berjaya dipilih untuk bekerjasama dengan kepimpinan negara di peringkat Persekutuan.
Di sini Beta berkenan menyampaikan ucapan tahniah Beta kepada mantan Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamad Azmin bin Ali yang telah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia. Beta percaya dan berdoa, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamad Azmin bin Ali akan terus sentiasa berkhidmat dan menjalankan tugas dengan penuh iltizam demi untuk rakyat dan negara.
Beta melihat persidangan Dewan Negeri Selangor kali ini telah melakar satu sejarah baru kerana istiadat pembukaan dewan kali ini menyaksikan bilangan yang besar anggota Ahli-Ahli Dewan Negeri yang baharu. Beta berharap semua Yang Berhormat akan terus menjalankan amanah dan kepercayaan rakyat yang telah memilih mereka.
Di sini Beta juga berkenan supaya semua wakil rakyat dapat bekerjasama dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO), yang diketuai oleh Memanda Beta Yang Amat Berhormat Tuan Amirudin Bin Shari.
Beta berkenan agar Ahli-Ahli Yang Berhormat di dewan ini dapat membahaskan persoalan dasar dan membangunkan program yang memberi impak kepada Negeri Selangor Darul Ehsan. Perbahasan juga semestinya tidak bercanggah dengan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor serta sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beta menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik, dalam semua pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan bagi Negeri Selangor. Ini termasuklah sistem integriti dan akauntabiliti yang sedia wujud dalam kepimpinan Negeri Selangor. Ianya hendaklah terus diamalkan.
Beta dimaklumkan pertumbuhan ekonomi negeri Selangor dilihat terus kukuh pada kadar Tujuh Perpuluhan Satu peratus (7.1%) pada 2017 berbanding Empat Perpuluhan Lapan peratus (4.8%) pada 2016. Negeri Beta juga turut merekodkan prestasi melebihi paras nasional iaitu pada kadar Lima Perpuluhan Sembilan peratus (5.9%). Beta turut berasa bangga Selangor merupakan penyumbang KDNK terbesar kepada KDNK Malaysia
pada
2017 iaitu
sebanyak
Dua Puluh Tiga peratus (23 %). Dua sektor utama yang menggerakkan pembangunan ekonomi ialah perkhidmatan swasta dan pembuatan yang menyumbang sebanyak Lapan Puluh Tiga Perpuluhan Sembilan peratus (83.9%) kepada keseluruhan KDNK diikuti oleh sektor pembinaan, perkhidmatan kerajaan, pertanian, perlombongan dan kuari.
Dengan peningkatan KDNK ini, Beta percaya negeri Selangor menjadi tumpuan utama oleh pelabur-pelabur domestik dan asing untuk terus melabur di Selangor. Bagi tempoh Januari sehingga Mac 2018, negeri Beta telah mencatatkan jumlah pelaburan bernilai Ringgit Malaysia Lapan Ratus Dua Belas Juta, Enam Ratus Empat Puluh Sembilan Ribu, Enam Ratus Lima Puluh Empat (RM812,649,654), sebanyak Tiga Puluh Lima (35) projek perkilangan telah diluluskan, yang mana Lima Puluh Tiga peratus (53%)merupakan pelaburan tempatan,manakala Empat Puluh Tujuh peratus (47%) daripadanya adalah pelaburan asing.
Beta berkenan apabila negeri Selangor telah menjadi pilihan pelabur bagi tahun 2017 daripada negara Jepun dengan catatan jumlah nilai pelaburan tertinggi iaitu sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ratus Tiga Puluh Tiga Juta (RM533 juta). Ianya diikuti oleh pelabur daripada negara Singapura sebanyak Ringgit Malaysia Empat Ratus Tiga Puluh Sembilan Juta (RM439 juta) dan negara China sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ratus Lapan Puluh Dua Juta (RM282 juta).
Statistik ini membuktikan para pelabur selesa dan yakin dengan dasar pentadbiran Negeri untuk mereka terus melabur dan membuat penambahan pelaburan di Negeri Selangor.
Beta menyeru supaya Negeri Selangor bersedia untuk menghadapi peralihan kepada Industri Empat Perpuluhan Kosong (4.0) yang sedang berkembang pesat di peringkat global. Beta percaya peralihan ini dapat mengurangkan kos dan kebergantungan terhadap penggunaan tenaga buruh dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan Negeri Selangor.
Era Revolusi Perindustrian Empat Perpuluhan Kosong (4.0) merupakan satu cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh semua negara. Justeru, Beta mengalu-alukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya.
Beta berkenan akan pelaksanaan dasar mesra pelabur dan kestabilan polisi Kerajaan Negeri menjadikan Negeri Selangor antara destinasi pelaburan utama di Malaysia. Faktor ini dikukuhkan lagi dengan kemudahan infrastruktur dan utiliti yang lengkap, selain wujudnya eko-sistem yang kondusif menjadi pendorong kepada para pelabur untuk memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan mereka.
Sejak penubuhan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) pada tahun 2016, sebagai entiti pelaksana program Smart Selangor, beberapa inisiatif baru berasaskan teknologi dan konsep Smart State telah pun dilaksanakan. Penggunaan aplikasi jalan raya “Waze’ di Negeri Selangor telah meningkatkan kecekapan pihak PBT untuk membaiki kerosakan jalan raya kepada tahap Lapan Puluh Peratus (80%) berbanding Enam Puluh Lima Peratus (65%) setahun sebelumnya.
Penggunaan Sistem Tindak balas Pintar Selangor (Intelligent Response Selangor) juga telah memudahkan pihak kerajaan untuk memantau kecekapan dan tindakan pihak PBT dalam melaksanakan operasi pembaikan ini secara telus dan bersepadu.
Beta berkenan dengan kejayaan Kerajaan Beta dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (“Air Selangor”) memperolehi persetujuan mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH). untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beta difahamkan dengan berakhirnya rundingan pengambilalihan SPLASH pada 03 Ogos 2018 yang lalu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. telah mengemukakan surat tawaran pengambilalihan tersebut kepada wakil Pemegang Saham SPLASH dengan nilai pengambilalihan berjumlah Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Lima Lima Billion (RM2.55 bilion) setelah ditolak diskaun sebanyak Dua Puluh Lapan peratus (28%) berdasarkan NBV SPLASH pada 30 Jun 2018.
Pengambilalihan yang tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan dari dana Kerajaan Negeri Selangor ini telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang. Beta berkenan apabila Air Selangor dapat beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah di mana ianya sekali gus dapat memastikan kadar tarif air yang tidak membebankan rakyat di negeri Beta ini.
Penstrukturan semula industri bekalan air di negeri Selangor akan akhirnya dimuktamadkan apabila Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal yang memproses, merawat dan mengagihkan air terawat kepada seluruh pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beta bersyukur kerana institusi masjid dan surau telah banyak dibina untuk kemudahan beribadat dan meningkatkan keimanan di negeri Selangor ini. Beta berkenan akan peranan masjid dan surau yang dimanfaatkan sebagai sebuah zon aman ke arah pembinaan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Masjid dan surau di negeri Beta ini telah diimarahkan dengan majlis-majlis ilmu yang mampu mendidik masyarakat untuk mendalami kefahaman Islam yang sebenar.
Sebagai sebuah negeri yang menekankan prinsip kepedulian rakyat, Beta amat berkenan dengan usaha dan inisiatif yang telah dilakukan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, terhadap usaha untuk meningkatkan kualiti dan prasarana masjid dan surau di Negeri Selangor. Ini termasuk memberi peruntukan khas bagi membina masjid dan surau di bawah Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-11 di mana terdapat sebanyak Dua Puluh Lima (25) buah masjid baru telah dan akan dibina.
Beta berkenan akan usaha pihak Kerajaan Negeri Selangor yang ”mempopularkan” konsep wakaf bagi pembinaan masjid dan surau seiring dengan hala tuju dan matlamat Perbadanan Wakaf Selangor. Selain pembinaan masjid atau surau dengan menggunakan peruntukan kerajaan, kini Negeri Selangor telah dapat melihat beberapa buah masjid dapat dibina dengan peruntukan Seratus peratus (100%) dana wakaf atau sebahagiannya dana wakaf dan sebahagiannya peruntukan kerajaan Negeri.
Beta percaya pembinaan institusi keluarga yang kukuh pastinya memberi kesan besar terhadap pembangunan masyarakat. Kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, para ilmuan dan pertubuhan yang sentiasa berazam mencari penyelesaian atas apa jua isu masalah yang timbul di dalam masyarakat haruslah dipuji.
Baru-baru ini rakyat telah dikejutkan dengan kes yang melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan. Beta memandang serius kes-kes seperti ini kerana Beta bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak. Oleh itu Beta telah menitahkan pihak MAIS dan JAIS untuk menyemak semula undang-undang di kalangan orang Islam yang sedia ada di negeri Selangor dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu.
Berikutan dengan itu MAIS dan JAIS telah menyembah maklumkan kepada Beta cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada. Beta berkenan dengan cadangan untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun.
Beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda bagi menambah baik prosedur dan proses kebenaran perkahwinan di bawah umur di Mahkamah Syariah. Antaranya dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan.
Untuk tujuan itu beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dicadangkan untuk dibuat pindaan. Beta berharap agar kedua-dua cadangan pindaan undang-undang tersebut dapat dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini.
Seperti umum sedia maklum, alam sekitar sering kali di kompromi bagi memberi laluan kepada pembangunan yang telah dirancang. Atas alasan untuk membangunkan sesuatu kawasan, alam sekitar diceroboh dengan rakus sehingga menyebabkan kejadian yang meragut nyawa seperti tanah runtuh, banjir mahupun kebakaran hutan. Namun begitu, Beta berbangga dengan ketegasan Kerajaan Negeri yang tidak berkompromi dengan isu alam sekitar ini.
Pada tahun ini, Kerajaan Negeri juga telah mengadakan Program Tanam Pokok Bakau di Bagan Lalang, Sepang. Selain itu, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan syarikat AEON untuk menanam pokok di Tanjung Beluntas, Kampung Bukit Belimbing bagi tujuan pemuliharaan kelip-kelip.
Antara pokok yang ditanam termasuklah pokok Sagu dan pokok Nipah. Program ini telah disertai oleh Seratus (100) orang pelajar dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea, Vietnam dan sebagainya. Beta berterima kasih atas kesudian pihak AEON untuk menaja anak-anak pokok dan berharap agar program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.
Beta juga berharap semoga akan lebih banyak syarikat korporat atau NGO sudi bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam program menanam pokok.
Atas ketegasan Kerajaan Negeri terhadap penjagaan alam sekitar juga, pelaksanaan kempen bebas plastik pada setiap hari telah dijalankan mulai 2017. Melalui kempen ini, tiada lagi beg plastik diberikan secara percuma kepada pengguna pada setiap hari. Beta dimaklumkan bahawa kempen ini telah bermula dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk terus mengkaji sama ada penggunaan beg plastik ini boleh dihapuskan atau diharamkan.
Negeri Selangor juga melaksanakan Kerangka Kerja Bandar Rendah Karbon atau Low Carbon City Framework (LCCF). Pelaksanaan LCCF ini dapat membantu dalam mengurangkan pencemaran serta mengekalkan keaslian alam sekitar. Daripada 12 PBT di negeri Selangor, tujuh PBT telah melaksanakan inisiatif LCCF sepenuhnya. Beta berharap agar baki lagi lima PBT juga dapat melaksanakan inisiatif LCCF ini sepenuhnya.
Beta mendoakan agar persidangan kali ini akan lebih bersifat kesetiaan kepada Negeri Selangor, patriotik, harmoni dan memupuk semangat muafakat di kalangan Ahli-ahli Dewan Negeri tanpa mengira bangsa dan agama. Janganlah sesekali mengamalkan politik sempit dengan penuh kebencian, fitnah serta menimbulkan salah faham di antara satu sama lain.
Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan ini, Beta berkenan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi keselamatan yang telah bekerja keras bagi memastikan PRU Ke 14 yang lalu dapat berjalan dengan lancar, aman dan tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini.
Akhirnya, Beta berdoa semoga negeri Selangor dan seluruh rakyat Beta terus mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan sentiasa berusaha untuk menjamin keamanan dan kemakmuran yang dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta mengucapkan selamat bersidang. Terima Kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Demikian tadi Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Patik bagi pihak Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sekalian menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga hari Selasa, 4 September 2018, jam 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.
Dengan hormatnya dijemput Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor diiringi Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Sahibul Fadhilah Imam Besar Masjid Negeri Selangor untuk membacakan Doa Selamat setelah sempurnanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas. ( DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR MEMBACA DOA ) SETIAUSAHA DEWAN : Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor meninggalkan Dewan Mesyuarat.
( D.Y.M.M. Sultan Selangor, D.Y.M.M. Tengku Permaisuri Selangor, dan D.Y.T.M Raja Muda Selangor berangkat dari Dewan Mesyuarat ke Bilik Jamuan VVIP Bangunan Annex )
Dengan segala hormatnya dijemput semua hadirin ke jamuan ringan yang disediakan di Dewan Jamuan, Bangunan Annex. Sekian, terima kasih.
( Dewan ditangguhkan pada jam 11.15 pagi )