Selangor · 18 March 2019

14th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 11 turns · 3,327 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Bismillahi Rahmanir Rahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Aturan Urusan Mesyuarat Bagi Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas pada 18 Mac 2019 dimulakan dengan Doa.

I. DOA II. PROKLAMASI

Setiausaha Dewan

Proklamasi Oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, D.K., D.M.N., D.K. (Terengganu), D.K. (Kelantan), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Johor), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., dengan kurnia Allah, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.

BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri :

MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 18 Mac 2019 hingga 22 Mac 2019 dan 25 Mac 2019 hingga 29 Mac 2019 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Yang Keempat Belas yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 11 hari bulan Februari 2019. [ DUN. Sel. 30287/12 Jld. 13 ] Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,

Upacara Mengangkat Sumpah

Setiausaha Dewan

Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya ialah upacara mengangkat sumpah dan menandatangani Surat Sumpah oleh Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Negeri Kawasan Semenyih yang baharu dilantik. Dengan ini dipersilakan:-

Yang Berhormat Puan Daroyah binti Alwi, Ahli Dewan Negeri Kawasan Sementa tampil ke hadapan untuk mengangkat sumpah dan menandatangani Surat Sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor yang baharu.

Yang Berhormat Tuan Zakaria bin Hanafi, Ahli Dewan Negeri Kawasan Semenyih tampil ke hadapan untuk mengangkat sumpah dan menandatangani Surat Sumpah.

[ SETELAH SELESAI MENANDATANGANI SURAT SUMPAH ]

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dif-dif Kehormat dan para jemputan, dengan ini dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan. Oleh itu saya menempohkan Dewan buat seketika.

( DEWAN DITANGGUHKAN SEKETIKA )

Setiausaha Dewan

Keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor serta Y.B. Tuan Speaker.

Dengan hormatnya dijemput Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor untuk mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Speaker

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan SelangorAddress / budget

Sultan Selangor

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

Bismillahirrahmannirrahim;

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmatNya Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-Empat Belas (14) pada pagi ini.

Negeri Selangor adalah sebuah negeri yang bertuah, berkat daripada keharmonian rakyatnya dan keutuhan sistem pentadbirannya, membolehkan Selangor terus maju dengan pertumbuhan positif yang dicatatkan, dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan juga pembinaan.

Ini menjadikan Negeri Selangor antara nadi utama pembangunan ekonomi negara. Dengan kedudukannya yang strategik dan tersedia prasarana yang baik, Selangor sentiasa menjadi pilihan pelabur-pelabur domestik dan luar negara yang datang untuk menjalankan perniagaan mereka di Negeri Selangor, walaupun keadaan ekonomi global pada tahun 2019 diramalkan suram dan angka pertumbuhan ekonomi dunia dijangka akan merosot kepada Tiga Perpuluhan Lima Peratus (3.5%) berbanding Tiga Perpuluhan Tujuh Peratus (3.7%) pada tahun 2018.

Beta dimaklumkan bahawa sebanyak Dua Ratus Empat Puluh Satu (241) projek perkilangan telah diluluskan di negeri Selangor bagi sepanjang tahun 2018, iaitu yang tertinggi di dalam negara, berbanding sebanyak Dua Ratus Dua (202) projek perkilangan yang telah diluluskan pada tahun 2017. Ini merupakan peningkatan sebanyak Sembilan Belas Peratus (19%) dari segi bilangan projek.

Manakala jumlah nilai pelaburan yang telah diluluskan pula adalah berjumlah Ringgit Malaysia Lapan Belas Perpuluhan Sembilan Empat Tujuh Billion (RM18.947 billion) berbanding sebanyak Ringgit Malaysia Lima Perpuluhan Lima Sembilan Dua Billion (RM5.592 billion) pada tahun 2017. Pencapaian yang luar biasa ini merupakan peningkatan sebanyak Dua Ratus Tiga Puluh Lapan Peratus (238%) berbanding tahun sebelumnya dan ini merupakan pencapaian tertinggi di dalam sejarah negeri Selangor.

Ekoran daripada projek-projek perkilangan yang diluluskan itu sebanyak Sembilan Ribu Satu Ratus Sembilan Puluh Enam (9,196) peluang pekerjaan telah diwujudkan di Negeri Selangor. Beta berkenan apabila Selangor terus menjadi pilihan destinasi pelaburan oleh banyak syarikat terkemuka dunia antaranya kilang Sony EMCS di Bangi yang merupakan kilang pengeluar TV LED Sony yang terbesar di dunia dan juga menjadi satu-satunya pusat R&D bagi produk TV Sony di luar Negara Jepun.

Manakala syarikat IKEA daripada Sweden sedang membangunkan pusat pengedaran serantau yang ke-3 terbesar di dunia yang terletak di Pulau Indah. Sementara itu, di Bukit Raja, syarikat Toyota telah melancarkan ‘first line off vehicle’ dari kilang mereka yang terbaru yang menggunakan teknologi pembuatan kereta tercanggih di dunia. Di Sepang pula, telah ditubuhkan syarikat Hartalega yang mengeluarkan sarung tangan nitrile yang terbesar di dunia yang berupaya mengeluarkan lebih 30 bilion sarung tangan setahun.

Pencapaian yang sangat memberangsangkan ini juga turut diterjemahkan menerusi keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur asing yang mana pelaburan langsung asing (FDI) menunjukkan peningkatan sebanyak Empat Ratus Perpuluhan Tujuh Peratus (400.7%) berbanding tahun sebelumnya .

Pada tahun 2018, Negeri Selangor telah menerima sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Perpuluhan Lapan Tiga Tujuh Billion (RM10.837 billion) pelaburan langsung asing, berbanding tahun sebelumnya sebanyak Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Satu Enam Empat Billion (RM2.164 billion.)

Ini menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi oleh para pelabur terhadap Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor. Beta yakin Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor dengan kerjasama MIDA dan MATRADE dapat mempertingkatkan lagi inisiatif untuk membawa masuk pelaburan yang besar ke dalam Negeri Selangor.

Beta berkenan dengan usaha Invest Selangor yang telah mewujudkan Selangor Talent Portal Application. Aplikasi ini dapat dijadikan sebagai platfom dan rujukan kepada para pelabur untuk mendapatkan sumber tenaga kerja mahir yang bersesuaian dan juga menjadi platfom kepada graduan yang baru menamatkan pengajian untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran yang dimiliki.

Dewan Negeri Selangor telah meluluskan Belanjawan 2019 berjumlah Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Lima Enam Bilion (RM2.56 bilion). Belanjawan yang telah dibentangkan oleh Memanda Dato’ Menteri Besar ini juga telah memperkenalkan strategi baru bagi memacu kemajuan ekonomi negeri mengikut kluster. Sebanyak sepuluh (10) kluster telah dikenal pasti untuk dimasukkan di dalam rancangan pembangunan secara bersepadu, antaranya adalah Kluster Industri Aeroangkasa, Kluster Eko-Pelancongan, Kluster Perikanan dan Akuakultur, Kluster Pertanian dan Industri Asas Tani, Kluster Pendidikan dan termasuk lima (5) kluster lain yang bertujuan untuk mencari potensi-potensi baharu ekonomi di Negeri Selangor.

Beta percaya dengan strategi ini, Kerajaan Negeri akan berupaya untuk mencipta nilai tambah di sesuatu kawasan secara inklusif serta meningkatkan daya saing Negeri Selangor dalam menghadapi persaingan di peringkat nasional dan juga global.

Beta berkenan dengan kerjasama yang kukuh di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor pada masa ini. Prinsip federalisma yang sihat dan matang akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negeri.

Beta menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan menggubal dasar yang berteraskan pertumbuhan dan perkongsian kemakmuran. Dasar ini akan membangkitkan semangat kerjasama bagi berkongsi kekayaan berkonsepkan “shared prosperity”.

Beta berkenan dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan sejumlah Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Enam Bilion (RM 2.6 Bilion) untuk melaksanakan Tiga Puluh Sembilan (39) projek baru dan Dua Ratus Tujuh Puluh Empat (274) projek sambungan dalam Rolling Plan 4 (RP4) Tahun 2019 di Negeri Selangor.

Beta juga berkenan usaha gigih Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk memuktamadkan segera pelaksanaan Projek Menaiktaraf Jambatan Klang Ketiga Fasa 2 bernilai Ringgit Malaysia Empat Ratus Lapan Puluh Lima Juta (RM485 Juta) bagi meningkatkan Level of Service dan mengurangkan kesesakan trafik.

Beta juga amat gembira dan berkenan dengan keputusan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk meneruskan Empat Belas (14) projek pembangunan yang ditangguhkan sebelum ini dengan kos keseluruhan bernilai Ringgit Malaysia Satu Ratus Enam Puluh Tujuh Juta (RM167 Juta).

Beta difahamkan pelbagai Kementerian dan agensi pelaksana di peringkat Persekutuan sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Selangor mengenai Tujuh Puluh Empat (74) projek baru dalam “wish list” Kerajaan Negeri. Ini termasuk Projek Pengukuhan Tebing Sungai Aur, Daerah Klang telah diluluskan untuk pelaksanaan dalam Tahun 2019 dengan kos projek bernilai Ringgit Malaysia Lima Belas Juta (RM15 Juta).

Beta yakin hubungan yang baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor akan terus diperkukuhkan di masa depan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran bersama.

Bekalan air merupakan keperluan paling asas di dalam kehidupan manusia. Air juga adalah anugerah Ilahi yang perlu dijaga dan diuruskan dengan amanah dan berhemah. Penggunaan air domestik di Negeri Selangor telah mencatatkan kadar penggunaan yang lebih tinggi berbanding daripada kadar nasional. Sekiranya jumlah ini dapat diturunkan, Beta yakin ia boleh menyumbang kepada penjimatan air bersih dan dapat menjamin bekalan sumber air yang berterusan.

Justeru itu, selain dari tumpuan kepada menambah baik pengurusan perkhidmatan bekalan air, Beta mahu Kerajaan Negeri bersama-sama dengan agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) memberi tumpuan mendidik rakyat supaya mereka sedar akan tanggungjawab menghargai air dan tidak menggunakannya dengan sewenang-wenang dan membazir.

Beta berkenan apabila Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan proaktif, strategik dan terancang dengan menyediakan Pelan Induk Sumber Air Negeri Selangor yang dapat menjamin kelangsungan bekalan air sehingga tahun 2065.

Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama berkenaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor telah dengan rasminya disempurnakan oleh Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor pada 4 Januari 2019 yang lalu. Dengan Perjanjian Tambahan ini, maka segala usaha ke arah menyusun semula industri perkhidmatan bekalan air berjaya diselesaikan. Proses ini dijangka akan selesai sepenuhnya pada 31 Mei 2019. Oleh itu mulai 1 Jun 2019, hanya Air Selangor yang menguruskan perkhidmatan air bermula dari rawatan hingga pengagihan kepada pengguna di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beta telah dimaklumkan bahawa empat atau lima buah sungai di Negeri Selangor telah tercemar dengan bahan-bahan buangan dari sisa pepejal dan sisa toksik. Oleh yang demikian, Beta menyeru kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya melaksanakan

penguatkuasaan yang lebih serius terhadap mereka yang melepaskan sisa-sisa buangan ke sungai.

Jika perlu, undang-undang hendaklah dibuat untuk mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah-pesalah yang mencemarkan sungai-sungai di Negeri Selangor ini. Selain daripada itu, pendidikan kepada masyarakat perlu ditambah lagi seperti mengadakan kempen-kempen yang memberi kesedaran agar menjaga kebersihan sungai-sungai yang menjadi salah satu sumber air di Negeri Selangor.

Masyarakat dunia kini berhadapan dengan dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan pemanasan global. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Lebih membimbangkan, kesan perubahan iklim global yang tidak terkawal juga boleh mengundang terjadinya bencana alam seperti kebakaran hutan, ribut taufan dan hujan lebat yang tidak boleh diramal sehingga menyumbang kepada berlakunya banjir besar dan sebagainya. Ini akan memberi kesan ke atas ekosistem dan memberi ancaman kepada rakyat, ekonomi dan pembangunan di Negeri Selangor.

Bagi tujuan tersebut, Beta difahamkan Kerajaan Negeri memperuntukkan Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Lima Juta (RM2.5 juta) bagi usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, kesan perubahan iklim serta pemanasan bumi harus diperkukuh dengan memberi fokus kepada Pelaksanaan Tanam Pokok Dalam Bandar serta Pengindahan Lanskap di sekitar bandar-bandar utama dalam Negeri Selangor. Manakala sejumlah Ringgit Malaysia Tiga Perpuluhan Satu Lima Juta (RM3.15 Juta) diperuntukan bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar ke atas bekas tapak pelupusan sisa pepejal.

Beta menitahkan agar kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Negeri Selangor ini dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya sumber air di Negeri Selangor ini mencukupi dan tidak terjejas untuk masa akan datang. Usaha-usaha mengekalkan hutan simpan serta keindahan flora dan fauna semulajadi di hutan hendaklah dilakukan. Kerajaan hendaklah memastikan bahawa tiada aktiviti pembalakan berlaku di hutan-hutan simpan dan kawasan tadahan air ini. Selain daripada itu Program penanaman pokok yang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan juga hendaklah diperluaskan bagi memelihara kehijauan alam sekitar.

Pembangunan bercirikan teknologi hijau dan mesra alam semulajadi harus diutamakan di Negeri Selangor. Beta berharap lebih banyak bangunan-bangunan seperti pejabat, kompleks membeli belah, sekolah dan rumah kediaman perlu direka bentuk dengan ciri bangunan hijau dan memperbanyakkan elemen semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan yang ditanam dalam dan luar bangunan.

Di sini Beta menitahkan supaya pegawai-pegawai Kerajaan di Negeri Selangor ini dapat terus bekerja dengan bersungguh-sungguh, berintegriti dan memberikan komitmen yang tinggi kepada tugas yang diamanahkan. Ini termasuklah mereka yang bertugas di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang banyak berurusan dengan kepentingan rakyat. Antara perkara yang perlu diatasi oleh PBT pada masa ini ialah memastikan sisa pepejal dapat diuruskan dengan sistematik dan berkesan. Sampah-sarap di sesebuah kawasan hendaklah dilupuskan dengan cara yang terbaik supaya tidak akan timbul masalah longgokan sampah yang tidak terkawal serta boleh mengakibatkan pencemaran bau dan membawa penyakit. Selain daripada itu, pihak PBT perlu mengawasi dan mengambil tindakan yang tegas kepada pengusaha-pengusaha restoran dan kedai makan yang tidak menjaga kebersihan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Beta berkenan dengan usaha Kerajaan Beta beralih daripada cara konvensional dalam melupuskan sisa pepejal kepada satu sistem pengurusan pelupusan berteknologi tinggi berikutan meningkatnya kadar pembuangan sampah yang perlu dilupuskan. Peningkatan ini disebabkan oleh pertambahan penduduk dan meningkatnya aktiviti masyarakat, ditambah pula meluasnya penggunaan sisa pepejal seperti plastik, logam, sisa bahan makanan, bahan binaan dan landskap. Perlaksanaan pembangunan sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal secara menyeluruh yang menggunakan teknologi Sisa kepada Tenaga ataupun Waste To Energy (WTE) adalah tepat pada masanya.

Beta difahamkan Worldwide Holdings Berhad telah menandatangani perjanjian bagi membangunkan kemudahan Sisa Kepada Tenaga ataupun Waste To Energy terbesar di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah Ringgit Malaysia Satu Bilion (RM 1 billion). Kemudahan ini yang akan dilaksanakan menerusi dua fasa berperingkat akan dibina di Jeram dan mampu meningkatkan kebolehan memproses sisa kepada tenaga dengan lebih efektif. Teknologi seumpama ini diharapkan mampu memanfaatkan bahan buangan yang akan dirawat dan dijadikan sumber tenaga bersih yang mesra alam dan tidak menjejaskan kesihatan.

Beta mengucapkan tahniah kepada semua PBT di Negeri Selangor yang telah berjaya memperoleh lima (5) bintang dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Negeri Selangor adalah antara tiga (3) buah negeri yang berjaya mencatat prestasi 100% PBT mencapai 5 bintang. Justeru, ia merupakan satu bentuk pengiktirafan

kepada PBT-PBT di Negeri Selangor yang sentiasa cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor merupakan tabung pendidikan bertujuan membantu pelajar-pelajar kelahiran Negeri Selangor, khususnya yang melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS. Antara program pinjaman pendidikan yang dilaksanakan adalah Pinjaman Boleh Ubah Dalam Dan Luar Negara, Program Khas Selangor Brain Bank (Pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga Phd); Biasiswa Sagong Tasi untuk Anak Orang Asal dan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar. Beta berkenan dengan program-program di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor ini yang akan dilaksanakan dengan dana berjumlah Ringgit Malaysia Enam Belas Perpuluhan Enam Juta (RM16.6 juta). Dijangkakan seramai lebih kurang Satu Ribu Satu Ratus Lima Puluh (1,150) orang rakyat Beta akan menerima manfaat daripada program pembiayaan pendidikan Kerajaan Negeri pada tahun ini.

Pendidikan tahfiz di negeri Selangor telah menarik minat ramai ibu bapa dan pelajar. Di Negeri Selangor sahaja terdapat sejumlah Lima Belas Ribu (15,000) pelajar tahfiz di Dua Ratus Enam Puluh Tiga (263) sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS). Beta menitahkan sekolah-sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan JAIS dan tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan akademik moden hendaklah ditutup dan ditamatkan perkhidmatannya.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia Satu Juta Sembilan Ratus Empat Puluh Ribu Empat Ratus (RM1,940,400.00) bagi kos tuisyen iaitu elaun penceramah dan bahan rujukan pelajar ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesi pembelajaran yang diadakan pada hari Sabtu dan Ahad selama satu tahun bermula Januari dan berakhir pada Oktober. Selepas itu, murid-murid akan menduduki peperiksaan SPM di pusat-pusat peperiksaan yang berdaftar pada tahun yang sama.

Pelan Pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke 11 (RMK 11) turut merangkumi pembinaan Sekolah Rendah Agama, Maahad Tahfiz, Kompleks Islam, Masjid dan Surau. Dalam tempoh 2016 sehingga 2018, pelaksanaan projek – projek pembangunan ini telah mencapai kadar pelaksanaan sebanyak Enam Puluh Satu Peratus (61%) dengan jumlah peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Enam Ratus Tiga Belas Perpuluhan Sembilan Juta (RM 613.9 juta).

Beta difahamkan bahawa rakyat Beta menyambut baik keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan kurang upaya di Negeri Selangor. Peruntukkan sejumlah Ringgit

Malaysia Tiga Juta (RM 3 juta) telah dibuat untuk program-program intervensi awal anak-anak istimewa ini. Beta berkenan dengan usaha Kerajaan Negeri yang telah menganjurkan kursus latihan kemahiran Anak-anak Istimewa kepada pengasuh-pengasuh di taska di seluruh Negeri Selangor bagi meningkatkan capaian penerimaan anak-anak ini.

Beta juga difahamkan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah Ringgit Malaysia Lima Ratus Ribu (RM500,000) sebagai dana bantuan khas kepada Anak-anak Istimewa Selangor, dalam membantu mereka menampung kos pemulihan, pembelian peralatan pemulihan dan keperluan lain di waktu kecemasan. Sesungguhnya, anak-anak istimewa ini adalah anugerah Allah kepada kita semua. Beta difahamkan Lapan Puluh Ribu (80 000) orang rakyat Negeri Beta yang telah mendaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Beta ingin mengingatkan bahawa rakyat Beta menaruh harapan dan amanah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bagi memberi perkhidmatan yang cemerlang. Pemimpin haruslah sentiasa turun ke padang mendengar aduan rakyat, membuka mata melihat keadaan semasa serta berfikiran terbuka bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

Beta berkenan dengan Program Jelajah Maju Bersama yang dilaksanakan oleh Memanda Dato’ Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke daerah-daerah di Negeri Selangor bagi melihat sendiri keadaan pembangunan, memberi amanat kepada penjawat awam dan melaksanakan dialog bagi mendengar aduan rakyat Beta. Program seperti ini harus dicontohi dan dikembangkan agar sentiasa mendekati rakyat secara keseluruhan.

Sesungguhnya Negeri Selangor ini adalah negeri yang makmur dan aman, dikurniakan masyarakat berbilang bangsa, agama dan adat resam. Perpaduan dan keharmonian ini adalah aset negeri yang harus dipertahankan dan dipelihara agar menjamin kestabilan dan kesentosaan negeri. Beta berkenan dan memandang serius agar seluruh rakyat jelata di Negeri Selangor ini terus mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi dengan mengukuhkan lagi perpaduan yang telah lama terjalin di antara berbilang bangsa dan agama.

Rakyat Beta hendaklah sentiasa menghormati di antara satu sama lain dan tidak membesarkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian. Gunakanlah kemajuan teknologi yang ada sekarang ini untuk perkara-perkara yang positif dan boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya untuk menyebarkan fitnah

dan berita palsu serta menghina sesesorang yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat.

Beta berharap agar Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dapat berbahas dengan produktif, membicarakan topik yang bermanfaat, mengutarakan isu-isu semasa dan cabaran yang mendatang serta mencambah buah fikiran yang bernas demi kesejahteraan rakyat yang Beta kasihi.

Akhirnya, Beta berdoa semoga Negeri Selangor dan seluruh rakyat yang Beta kasihi terus mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya, hidup damai dan tenteram di bumi yang bertuah ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta mengucapkan selamat bersidang. Terima Kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Speaker

Demikian tadi Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Patik bagi pihak Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sekalian menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga hari Selasa, 19 Mac 2019, jam 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.

Setiausaha Dewan

Dengan hormatnya dijemput Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor diiringi Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Sahibul Fadhilah Imam Besar Masjid Negeri Selangor untuk membacakan Doa Selamat setelah sempurnanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas. ( DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR MEMBACA DOA )

Setiausaha Dewan

Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor meninggalkan Dewan Mesyuarat.

( D.Y.M.M. Sultan Selangor, D.Y.M.M. Tengku Permaisuri Selangor, dan D.Y.T.M Raja Muda Selangor berangkat dari Dewan Mesyuarat ke Bilik Jamuan VVIP Bangunan Annex )

Setiausaha Dewan

Dengan segala hormatnya dijemput semua hadirin ke jamuan ringan yang disediakan di Dewan Jamuan, Bangunan Annex. Sekian, terima kasih.

( Dewan ditangguhkan pada jam 11.15 pagi )