Sarawak · 9 July 2018
18th Assembly, 3rd session, 1st meeting (unedited) · not final · 3 turns · 3,764 words · official PDF ↗
ExperimentalSarawak publishes only unedited transcripts (Belum Disunting). The 19th Assembly was dissolved on 26 Oct 2026. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismilahirrahmannirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dif-dif Kehormat, tuan-tuan dan puan-puan. Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya maka kita
dapat berjumpa lagi di Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Kelapan Belas.
Ahli–ahli Yang Berhormat, selamat datang dan terima kasih atas kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat ke persidangan pada kali ini. Persidangan kita akan berlangsung selama lapan hari mulai hari ini, Isnin, 9 Julai hingga Rabu, 18 Julai 2018. Tidak ada mesyuarat pada hari Sabtu dan Ahad, 14 dan 15 Julai 2018. Semoga kita dapat bersidang dalam suasana yang muhibbah dan penuh tatatertib.
Sidang Dewan yang dihormati sekalian, bagi Dewan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat atas kejayaan dipilih menjadi Ahli Parlimen dalam Pilihanraya Umum Ke-14 yang lepas iaitu pada 9 Mei 2018.
Dewan yang mulia ini mengucapkan tahniah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang berikut atas pelantikan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan pada 2 Julai 2018 yang lepas:-
(a) Yang Berhormat Encik Baru Bian, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan N.81 Ba’Kelalan yang telah dilantik menjadi Menteri Kerja Raya Malaysia; dan
(b) Yang Berhormat Encik Chong Chieng Jen, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan N.12 Kota Sentosa yang telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia.
Dewan yang mulia ini juga mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen Sarawak yang lain. Semoga Ahli-ahli Yang Berhormat dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing khasnya dan dalam negeri Sarawak amnya.
Ahli-ahli Yang Berhormat, I have granted leave of absence under Standing Order 81 to:-
(a) Yang Berhormat Datuk Haji Talib Zulpilip, Minister in the Chief Minister’s Office (Integrity and Ombudsman) and Honourable Member for N.67 Jepak; and
(b) Yang Berhormat Encik Chong Chieng Jen, Honourable Member for N.12 Kota Sentosa, for today’s sitting.
Sidang Dewan yang dihormati sekalian, sukacita saya memaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri akan hadir untuk menyampaikan ucapan kepada sidang Dewan pada pagi ini. Dengan itu, saya menangguhkan mesyuarat Dewan sebentar untuk membolehkan saya mengiringi keberangkatan masuk Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib ke dalam Dewan.
(Mesyuarat ditangguhkan pada jam 11.10 pagi)
(Mesyuarat dimulakan pada jam 11:21 pagi)
[Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib, diiringi oleh Tuan Speaker, Timbalan Speaker, Setiausaha Dewan dan Bentara Sidang masuk ke Dewan Mesyuarat]
Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Petua Negeri Sarawak
Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud: Bismillahirahmanirahim. Assalamualakum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Ahli-ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’aala kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat bersama-sama lagi pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Yang Kelapan Belas. Saya berharap persidangan kali ini berjalan dengan lancar dalam suasana yang sopan, tertib dan berhemah seperti yang sudah menjadi amalan kita di Negeri Sarawak ini.
Tuan Speaker, pertama-tama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ketujuh. Ini adalah satu peristiwa yang jarang kita jumpa dalam mana-mana politik seluruh dunia ini.
Saya yakin dengan pengalaman beliau yang luas dalam bidang ekonomi, politk dan sosial, Malaysia akan terus maju dan makmur ke arah Wawasan 2020 yang menjadi cita-cita kita bersama. Saya juga yakin di bawah kepimpinan beliau, Kerajaan Persekutuan akan terus melaksanakan program dan projek pembangunan di negeri Sarawak demi kesejahteraan rakyat kita.
Ucapan Tahniah Kepada Pakatan Harapan Atas Pembentukan Kerajaan Persekutuan
Tuan Speaker, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Pakatan Harapan atas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Malaysia yang Keempat Belas pada 9 Mei 2018. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pakatan Harapan kerana berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru. Saya berharap dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan maka Negara dan rakyat akan terus mendapat manfaat dari segi kemajuan dan kemakmuran kerana suasana kestabilan politik dan sosial yang kita telah sama-sama bina dalam Negara ini.
Ucapan Terima Kasih Kepada Suruhanjaya Pilihanraya (Spr) Di Atas Kejayaan Mengendalikan Pilihanraya Umum Malaysia Ke-14
Tuan Speaker, saya ingin merakamkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada SPR dan semua pihak termasuk anggota keselamatan kerana telah mengendalikan Pilihan Raya Umum Malaysia Keempat Belas (PRU14) dengan begitu lancar. Kita bersyukur, pilihan raya ini telah berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Keadaan ini menggambarkan kematangan rakyat Malaysia dalam menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin di negara ini.
Peralihan Kuasa Kerajaan Persekutuan Menunjukkan Kematangan Amalan Demokrasi Dan Kestabilan Politik Di Malaysia
Tuan Speaker, kestabilan politik merupakan tunjang kepada pentadbiran dan pembangunan Negara kita. Kita bersyukur proses peralihan pucuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan telah berjalan dengan licin, aman dan baik. Saya percaya ini adalah manifestasi kematangan amalan demokrasi di Malaysia ini. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan fahaman politik sama-sama mendukung perpaduan demi keamanan dan kestabilan politik.
Syabas dan terima kasih kepada penjawat awam yang bersikap profesional untuk memastikan Negara ini berada dalam keadaan tenteram khususnya sepanjang tempoh peralihan kuasa Kerajaan Persekutuan.
Pembangunan Sosio-Ekonomi Negeri Sarawak Oleh Kerajaan Persekutuan
Saya percaya rakyat di Negeri Sarawak meletakkan harapan yang amat tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan pembangunan di Negeri Sarawak khasnya dan diseluruh Malaysia amnya. Segala janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Keempat Belas (PRU14) hendaklah dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
Negeri Sarawak masih memerlukan projek-projek infrastruktur dan kemudahan asas khususnya di luar bandar. Negeri Sarawak amat luas dan penempatan penduduk pula bertaburan di kawasan luar bandar. Jaringan jalan raya perlu ditingkatkan dan liputan bekalan air dan elektrik perlu diluaskan.
Penyediaan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat perlu diperkasakan. Kawalan keselamatan juga hendaklah diperketatkan untuk memastikan rakyat di Negeri ini hidup dalam keadaan aman dan damai.
Projek-projek Kerajaan Persekutuan yang memberi impak besar kepada Sarawak hendaklah diteruskan khususnya projek-projek di kawasan luar bandar. Projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo hendaklah disiapkan mengikut perancangan. Projek ini amat penting kepada pembangunan sosio-ekonomi Negeri Sarawak.
Saya juga berharap pembangunan Sarawak Corridor of Renewable Energy ataupun dengan nama pendeknya SCORE turut diperkasakan. Pelaksanaan Pelan SCORE penting untuk melonjakkan ekonomi Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.
Sokongan Kerajaan Persekutuan juga diperlukan supaya Pembangunan Digital Ekonomi Sarawak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini penting bagi merapatkan jurang digital di antara Sarawak dengan kawasan yang lebih maju di Malaysia ini.
Kerjasama Kerajaan Pusat dan Negeri Untuk Memastikan Pembangunan Negeri Sarawak Selaras Dengan Perlembagaan Persekutuan
Tuan Speaker, saya gembira Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan mesra dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan. Kerjasama ini penting untuk meneruskan pembangunan Negeri Sarawak tanpa mengira parti politik yang memerintah.
Kerjasama yang ditawarkan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan jelas menunjukkan kematangan kepimpinan politik di Negeri Sarawak. Pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat seharusnya mendahului kepentingan-kepentingan politik.
Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan tanggungawabnya kepada pembangunan di negeri Sarawak ini selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saya percaya keikhlasan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan akan memastikan segala perancangan pembangunan di negeri ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Pembentukan Gabungan Parti Sarawak Akan Memperkukuhkan Perjuangan Negeri Ke Atas Hak, Autonomi dan Pembangunan Negeri Selaras Dengan Aspirasi Rakyat Di Era Baharu
Tuan Speaker, penubuhan Gabungan Parti Sarawak GPS oleh pimpinan Kerajaan Negeri adalah selaras dengan aspirasi rakyat Sarawak. GPS akan menyediakan landasan yang kukuh kepada Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan hak dan autonomi Negeri Sarawak. Saya percaya GPS akan menjadi sebuah gabungan parti politik yang kuat, mantap dan dapat membawa rakyat bersatu padu demi untuk kesejahteraan dan kemajuan Negeri Sarawak.
Saya yakin GPS akan menjadi wadah penting dalam perjuangan menuntut hak Sarawak dari Kerajaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan. Saya menyeru agar Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama ikhlas kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk mencapai matlamat ini.
Saya juga yakin Kerajaan Negeri dapat menguruskan sumber semula jadi, khususnya minyak dan gas dengan baik agar dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat Negeri kita ini.
Saya gembira kerana usaha ke arah menguruskan sumber-sumber ini secara berkesan dan mapan telah dilaksanakan. Saya percaya penguatkuasaan undang-undang seperti Oil Mining Ordinance 1958 dan Gas Distribution Ordinance 2016 akan memastikan sumber minyak dan gas yang berharga di Sarawak dapat dibangunkan secara mampan serta berhemah untuk masa hadapan rakyat Sarawak.
Penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) amatlah bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri bagi menguruskan pembangunan industri minyak dan gas Sarawak. Ini selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab industri minyak dan gas yang terunggul di rantau ini serta bekerjasama dengan PETRONAS demi untuk kepentingan Negara Malaysia amnya dan Negeri Sarawak khasnya.
Oleh yang demikian, saya menyeru agar hak persempadanan Sarawak terutamanya sempadan maritim mesti terus dipeliharakan dan dipertahankan. Ini penting agar perairan Sarawak dapat dibangunkan dan diurus untuk faedah dan kemakmuran Negeri Sarawak.
Perpaduan dan Keharmonian Rakyat Perlu Diperkukuhkan
Tuan Speaker, usaha Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan hak dan autonomi Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan mengikut perlembagaan perlu mendapat sokongan padu seluruh rakyat Negeri ini. Saya merayu agar rakyat sentiasa memperkukuhkan perpaduan dan kestabilan politik demi masa hadapan Sarawak yang cemerlang.
Saya gembira kerana rakyat Sarawak senantiasa menyemai semangat perpaduan dan saling hormat-menghormati dalam kalangan pelbagai kaum. Ini jelas menunjukkan kematangan rakyat Sarawak keseluruhannya.
Saya yakin, perpaduan ini juga dapat dicapai kerana rakyat dan Kerajaan bersama-sama ingin memupukkan segala usaha untuk pembangunan Negeri Sarawak ini bagi seluruh rakyat Sarawak.
Perpaduan dalam kepelbagaian merupakan asas kekuatan Negeri kita. Kekuatan ini penting bagi kita mengharungi cabaran globalisasi dan perkembangan pesat teknologi maklumat.
Saya yakin Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak akan terus memimpin Negeri ini ke arah kemajuan yang pesat.
Beliau merupakan pemimpin yang bertanggungjawab, berwibawa, dinamik dan berwawasan. Saya percaya dengan sokongan padu rakyat kepada beliau, Sarawak akan terus membangun dan kebajikan rakyat akan sentiasa dipelihara.
Pembangunan Ekonomi
Prestasi Ekonomi Semasa
Saya berpuas hati dengan perkembangan ekonomi Sarawak. Dalam persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu, Sarawak masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif. Kadar pertumbuhan ekonomi Sarawak meningkat dari 2.3% pada tahun 2016 kepada 4.7% pada tahun 2017.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita meningkat daripada RM44 ribu pada tahun 2016 kepada RM46 ribu pada tahun 2017. Nilai eksport juga meningkat daripada RM77 billion pada tahun 2016 kepada RM96 billion pada tahun 2017.
Kadar kemiskinan berjaya diturunkan dari 0.9% pada tahun 2014 kepada 0.6% pada tahun 2016. Kadar pengangguran telah dapat dikekalkan pada tahap yang rendah, kurang daripada 4.0%.
Perkembangan ekonomi Sarawak disokong oleh asas-asas ekonomi yang kukuh, tadbir urus yang baik dan pengurusan kewangan yang mantap oleh Kerajaan Negeri. Ini terbukti dengan penarafan kredit Sarawak yang baik oleh agensi-agensi penarafan kredit antarabangsa.
Standard and Poor’s memberi penarafan A minus dengan prospek stabil kepada Negeri Sarawak. Manakala Moody’s Investors Service juga memberi penarafan A3 prospek stabil kepada negeri Sarawak. Saya gembira kerana keyakinan para pelabur kepada negeri Sarawak terus meningkat dengan pencapaian ini.
Transformasi Ekonomi
Saya gembira kerana Kerajaan Negeri mempunyai pelan pembangunan yang holistic. Saya penuh yakin dengan Socio-Economic Transformation Plan (SETP), Sarawak Corridor of Renewable Energy dan Pelan Ekonomi Digital.
Saya yakin pelaksanaan pelan-pelan yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri akan mencapai kejayaan untuk membangunkan ekonomi Sarawak. Saya percaya pelan-pelan tersebut bersifat people centric bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat.
Saya yakin pelan-pelan pembangunan ekonomi ini akan menggalakkan pelaburan di Negeri Sarawak. Usaha ini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat, terutamanya kepada golongan muda yang berbakat dan berkemahiran tinggi.
Saya memuji Strategi Pelan Ekonomi Digital Kerajaan Negeri untuk menggalakkan aplikasi teknologi digital dalam semua aspek pembangunan ekonomi. Aplikasi teknologi digital mampu meningkatkan produktiviti sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan di Negeri ini.
Oleh itu, kita tidak boleh ketinggalan dalam aspek digital kerana perubahan teknologi ini sangat pantas. Ianya akan mempengaruhi cara kehidupan seharian dalam pekerjaan, perniagaan dan juga hiburan.
Ekonomi Digital mampu membuka banyak peluang untuk generasi muda kita terlibat dalam bidang keusahawanan. Saya yakin anak-anak muda kita merupakan golongan yang kreatif dan inovatif sesuai dengan kehendak era digital. Saya berharap golongan belia kita yang berbakat mampu mencipta nama dalam bidang masing-masing diperingkat antarabangsa.
Saya yakin penubuhan Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (S-DEC) akan memastikan inisiatif ekonomi digital dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk kemajuan negeri Sarawak ini.
Saya juga yakin ekonomi Sarawak akan terus maju melalui proses perindustrian khususnya Pelan Pembangunan SCORE. Saya gembira kerana SCORE telah mencapai kejayaan dalam Fasa Pertama pembangunannya di Taman Perindustrian Samalaju. Banyak industri telah pun beroperasi di taman perindustrian ini. Saya menyeru agar usaha terus dilaksanakan untuk menggalakkan aktiviti nilai tambah di Taman Perindustrian Samalaju.
Usaha juga perlu ditingkatkan untuk membawa pelaburan ke kawasan-kawasan perindustrian lain di seluruh Negeri kita ini. Ini penting untuk menjana banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat.
Transformasi Luar Bandar
Saya gembira kerana Kerajaan Negeri telah memberi tumpuan yang tinggi kepada pembangunan di kawasan luar bandar khususnya kemudahan asas di luar bandar. Akses jalan raya merupakan kunci untuk membangunkan kawasan luar bandar yang mempunyai potensi ekonomi yang besar sekali.
Saya percaya pelaksanaan infrastruktur asas lain di kawasan luar bandar seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi akan disegerakan untuk kesejahteraan rakyat di luar bandar.
Saya amat gembira kerana Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukkan yang besar bagi membangun infrastruktur asas di luar bandar dan akan terus melaksanakan dan memberi tumpuan kepada people centric projects.
Setelah 55 tahun kita merdeka dalam Malaysia, tidak ada sebabnya kita tidak gunakan peruntukan yang ada untuk memastikan segala masalah air, elektrik dan jalan diselesaikan, dibangunkan atau dipulihkan supaya setiap rakyat dapat menikmati kemudahan-kemudahan tersebut sama seperti rakyat lain di tempat-tempat yang sudah maju di Malaysia.
Kesejahteraan Bandar
Pada masa kini, proses urbanisasi di negeri Sarawak semakin pesat. Bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu terus menjadi tumpuan penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan, pendidikan, peluang perniagaan dan pekerjaan.
Saya menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam perancangan dan pembangunan bandar supaya sentiasa mendahului keperluan rakyat. Ini termasuklah penyediaan lebih banyak perumahan mampu milik ataupun “effordable housing” yang selesa, kawasan rekreasi yang mencukupi dan sistem pengangkutan awam yang efisien.
Akses kepada infrastruktur dan kemudahan moden ini sudah tentu akan mengubah gaya hidup penduduk di kawasan bandar yang semakin kompleks.
Saya berharap kita akan terus mempertahankan adat dan tradisi, mengekalkan semangat kekitaan dan saling hormat-menghormati untuk memastikan kesejahteraan hidup penduduk akan terus terpelihara.
Pembangunan Sosial dan Alam Sekitar
Pendidikan yang berkualiti tinggi adalah penyumbang kepada pembangunan negara yang inklusif dan saksama. Bidang pendidikan juga sentiasa dinamik seiring dengan perubahan semasa yang berlaku.
Pembangunan infrastruktur pendidikan perlu diberi keutamaan khususnya di kawasan luar bandar. Kualiti pengajaran dan pembelajaran mestilah dipertingkatkan dengan memperkasakan golongan pendidik.
Saya menyeru agar golongan pendidik berfikir dengan lebih terbuka dan berusaha untuk mempertingkatkan kecekapan kemahiran serta menjaga etika profesional perguruan.
Saya juga berpesan kepada ibu bapa supaya bekerjasama rapat dengan pihak sekolah untuk menjamin kualiti pendidikan anak-anak kita. Saya menasihatkan generasi muda menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran untuk menjamin masa depan yang cerah.
Kesihatan
Kesihatan rakyat merupakan tonggak penting pembangunan negara. Oleh itu, tahap perkhidmatan kesihatan di negeri ini perlu dipertingkatkan lagi. Ini penting bagi memastikan rakyat mendapat khidmat rawatan dan nasihat kesihatan yang sewajarnya.
Saya yakin Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif murni ini agar seluruh rakyat mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Saya juga menyeru agar rakyat di negeri ini mengamalkan gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan penyakit yang berkaitan dengan amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.
Keselamatan Awam
Keselamatan awam amat penting untuk menjamin pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kita. Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan awam. Tahap keselamatan di pintu-pintu masuk dan sepanjang sempadan negeri perlu dipertingkatkan. Ini bagi mencegahkan sebarang aktiviti dan anasir luar yang boleh menganggu ketenteraman awam kita.
Saya juga menyeru supaya pihak yang berwajib sentiasa meningkatkan tahap kawalan keselamatan ke atas aset-aset strategik dan sumber semula jadi Negeri yang berharga. Aset dan sumber ini perlu dilindungi supaya tidak diceroboh dan merugikan negeri kita.
Saya juga menyeru supaya agensi keselamatan sentiasa bersiap siaga bagi menghadap sebarang ancaman akibat aktiviti jenayah dan bencana alam. Aspek pencegahan dan perlindungan hendaklah menjadi keutamaan bagi memastikan rakyat kita
sentiasa hidup dalam keadaan aman dan tenteram dan dapat menikmati taraf-taraf kemajuan yang kita capai daripada satu masa ke satu masa.
Rakyat juga hendaklah memainkan peranan mereka dan bekerja dengan pihak berwajib bagi membendung aktiviti dan menangani isu-isu yang berkaitan dengan pencegahan jenayah.
Kesejahteraan Sosial
Kesejahteraan sosial penting sekali untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu-padu. Saya percaya pengukuhan institusi kekeluargaan menjadi tunjang kepada pembentukan masyarakat yang penyayang dan saling hormat-menghormati. Penerapan nilai-nilai murni hendaklah sentiasa disemai dikalangan masyarakat kita seawal usia muda.
Institusi pendidikan juga memainkan peranan utama dalam membentuk sahsiah yang baik. Ini penting untuk memastikan masyarakat kita khususnya golongan remaja lebih bertanggungjawab, rajin berusaha dan menghindari aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
Kesejahteraan sosial yang kita nikmati selama ini adalah hasil daripada sikap toleransi dan saling hormat-menghormati di kalangan rakyat kita berbilang kaum di Negeri Sarawak ini. Keadaan ini telah mewujudkan Sosial Capital di mana masyarakat berbilang kaum dapat bekerjasama membangunkan negeri Sarawak. Saya berharap kita terus mempertahankan kesejahteraan sosial ini untuk kemakmuran negeri kita.
Kelestarian Alam Sekitar
Saya amat bersyukur kerana Sarawak masih mempunyai kualiti alam sekitar yang baik. Ini perlu dipelihara agar ianya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. Saya gembira kerana Kerajaan sentiasa prihatin dengan penjagaan alam sekitar. Setiap pelan pembangunan yang dirancangkan mempunyai pelan kelestarian alam sekitar.
Justeru, saya menyeru agensi penguatkuasa yang berkaitan memastikan segala usaha pemeliharaan alam sekitar ini dilaksanakan dengan tegas sebagai sebahagian cara hidup kita membina Negeri kita ini. Kelestarian alam sekitar juga memerlukan sokongan rakyat. Saya ingin berpesan agar rakyat berganding bahu dengan Kerajaan kerana penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.
Kecekapan Dan Ketelusan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan
Saya amat gembira kerana Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) telah menunjukkan tahap professionalisma, integriti dan kerjasama yang begitu rapat dalam kalangan anggotanya tanpa mengira bangsa dan agama dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pengurusan undang-undang dan kewangan dalam kalangan anggota Perkhidmatan Awam Negeri boleh dibanggakan dan antara yang terbaik di Malaysia seperti yang dimanifestasikan dalam kedudukan baik prestasi kewangan dan pengurusan kita.
Saya menyeru agar penjawat awam terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cekap, telus, ikhlas dan berintegriti. Ini penting bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan Kerajaan di negeri Sarawak.
Saya juga berpesan agar sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang efektif dan efisien tanpa pembaziran terus diamalkan. Ini adalah selaras dengan aspirasi dan kehendak rakyat Sarawak.
Saya ingin berpesan supaya penjawat awam mengaplikasikan media sosial sebagai keadaan baru untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam. Media sosial sangat efektif untuk kerajaan menyampaikan maklumat penting kepada rakyat dan rakyat kepada Kerajaan kerana liputannya yang meluas dan pantas.
Justeru, maklumat yang dimuatkan dalam media sosial hendaklah tepat dan benar, bagi memastikan tindakan tepat dan segera dapat diambil oleh Kerajaan khususnya bagi isu-isu kecemasan yang dikemukakan oleh rakyat.
Saya gembira kerana Kerajaan Negeri telah menyiapkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas. Saya menyeru agar program dan projek pembangunan yang diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas disiapkan mengikut jadual. Ini penting untuk memastikan pembangunan negeri yang berterusan dan memberi faedah kepada rakyat.
Saya ingin mengingatkan bahawa pembangunan aset-aset awam seperti jalanraya, bangunan sekolah, klinik dan rekreasi melibatkan pelaburan Kerajaan yang tinggi. Aset-aset awam ini perlu diurus dan disenggara secara sistematik.
Oleh yang demikian, kita hendaklah mengamalkan budaya menyelenggara estet-estet aset-aset awam agar ianya dapat digunakan secara mampan untuk kemudahan rakyat.
Peranan Golongan Belia Sebagai Pewaris
Semangat Cintakan Negara penting untuk meningkatkan patriotisme di kalangan rakyat khususnya golongan belia. Kita mempunyai jumlah belia yang ramai yang akan mewarisi legasi kita pada masa hadapan.
Mereka patut juga mengamalkan segala amalan baik yang telah mereka nampak yang dijalankan oleh generasi yang lebih tua. Sebagai pewaris negara, golongan belia perlu memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran teknologi terkini bagi menguasai bidang politik, ekonomi dan sosial yang semakin mencabar pada masa hadapan.
Penguasaan teknologi terkini penting dalam dunia tanpa sempadan di era digital ini. Melalui teknologi, kita dapat merebut peluang yang ditawarkan dan mencipta kekayaan sendiri melalui kreativiti dan inovasi. Saya menyeru supaya golongan belia melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran sains dan teknologi supaya dapat menguasai dan bersaing dalam era ekonomi digital.
Saya percaya golongan belia mempunyai iltizam yang tinggi untuk berjaya. Semangat jati diri yang tinggi, rajin dan tekun berusaha pastinya akan membuah hasil untuk diri sendiri, keluarga dan negara.
Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai 2018
Kita akan menyambut Hari Sarawak pada 22 Julai 2018 ini. Sambutan ini adalah bagi memperingati Hari Kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963. Saya menyeru agar rakyat dapat menghayati erti kemerdekaan ini.
Kejayaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil usaha para pemimpin Sarawak yang telah memperjuangkan kemerdekaan dan menyediakan asas pembentukan kuasa politik Negeri Sarawak ini.
Sambutan ini adalah signifikan untuk kita memperingati pengorbanan para pemimpin terdahulu. Mereka telah berjaya menyatupadukan rakyat Negeri ini dan menyediakan landasan kukuh untuk melaksanakan pembangunan seperti yang kita saksikan dan kecapi hari ini.
Penutup
Akhir sekali, saya menyeru agar Ahli-ahli Yang Berhormat terus memberikan khidmat cemerlang di kawasan masing-masing. Mereka juga perlu menyumbang idea dan saranan yang bernas untuk membantu Kerajaan menggubal dasar-dasar yang lebih strategik bagi mempertingkatkan pembangunan dan kemakmuran negeri ini.
Saya berharap supaya Ahli-ahli Yang Berhormat dapat berbahas dan bersidang dalam suasana yang penuh tertib, sopan dan berhemah. Tunaikanlah amanah dan tanggungjawab dengan penuh ikhlas demi kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu marilah kita bersama-sama berdoa supaya persidangan kali ini dapat berjalan dengan lancar dan dapat menyumbang banyak idea dan hasrat rakyat kepada Dewan ini yang menjadi tempat kita menyusunkan dasar-dasar besar dan menasihatkan Kerajaan yang telah kita tubuh.
Saya juga mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada masyarakat Dayak dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat Islam sempena suasana perayaan yang masih disambut di Negeri ini pada sekarang ini. Semoga perayaan yang kita sambut ini menjadi tali pengikat silaturrahim untuk kita semua dan mengekalkan dan juga mempertingkatkan lagi bentuk perpaduan dan kemesraan rakyat Sarawak seperti yang telah kita binakan tahun-tahun yang lepas.
Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh.
Bacaan Doa
Sidang Dewan yang dihormati sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ucapan dan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-18 pada pagi ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sesi bergambar untuk semua Ahli-ahli Yang Berhormat bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan diadakan di pintu utama Bangunan ini sejurus selepas jamuan tengah hari.
Dewan akan bersidang semula pada jam 9:00 pagi esok hari, Selasa, 10 Julai 2018.
(Mesyuarat ditangguhkan pada jam 12:24 tengah hari)