Sarawak · 29 April 2019
18th Assembly, 4th session, 1st meeting (unedited) · not final · 10 turns · 4,126 words · official PDF ↗
ExperimentalSarawak publishes only unedited transcripts (Belum Disunting). The 19th Assembly was dissolved on 26 Oct 2026. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismilahirrahmannirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dif- Dif Kenamaan Tuan-Tuan dan Puan-Puan. Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya maka kita dapat berjumpa lagi di Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelapan Belas.
Saya mengucapkan selamat datang dan terima kasih atas kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat ke persidangan pada kali ini. Persidangan kita akan berlangsung selama lapan hari mulai hari ini, Isnin, 29 April hingga 9 Mei 2019, kecuali Rabu, 1 Mei 2019, Sabtu, 4 Mei 2019 dan Ahad, 5 Mei 2019.
Semoga kita dapat bersidang dalam suasana yang muhibbah dan penuh bertatatertib.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan hadir untuk menyampaikan ucapan kepada Sidang Dewan pada pagi ini. Dengan itu, saya menangguhkan mesyuarat Dewan sebentar untuk membolehkan saya mengiringi keberangkatan masuk Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib ke dalam Dewan.
(Mesyuarat ditangguhkan pada 10.48 pagi)
(Mesyuarat dimulakan pada jam 10.55 pagi)
[Tuan yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib, diiringi oleh Tuan Speaker, Timbalan Speaker, Setiausaha Dewan dan Bentara Mesyuarat masuk ke Dewan Mesyuarat]
Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud
Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat bersama lagi pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Yang Kelapan Belas. Saya berharap, persidangan kali ini akan berjalan dengan lancar dalam suasana yang sopan, tertib dan berhemah.
UCAPAN TAHNIAH ATAS PERTABALAN SULTAN ABDULLAHRI’AYATUDDIN AL MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH SHAH SEBAGAI YANG DI-PERTUAN AGONG YANG KE-ENAM BELAS
Tuan Speaker, pertama sekali, saya bagi pihak rakyat jelata Negeri Sarawak merakamkan junjungan kasih yang tidak terhingga ke bawah Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Seri Paduka Baginda Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah, di atas pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-enam belas. Saya bagi pihak rakyat jelata Negeri Sarawak menjunjung kasih dan ikrar taat setia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kita berdoa semoga Malaysia akan terus aman dan makmur di bawah naungan Tuanku.
Kematangan dan Kestabilan Politik di Sarawak
Tuan Speaker, kestabilan politik merupakan tunjang kepada pentadbiran dan pembangunan negara. Kita bersyukur, negara kita terus tenteram dan maju di bawah pucuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang baru.
Saya gembira, kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, terus berusaha mengekalkan hubungan yang baik dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
Agenda pembangunan mestilah diteruskan dan kepentingan rakyat negeri Sarawak harus diutamakan. Memang menjadi harapan rakyat Sarawak, Kerajaan Persekutuan hendaklah terus memberi peruntukan yang mencukupi untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri kita ini.
Kematangan berpolitik yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin negeri, merupakan asas kepada kemajuan dan kemakmuran negeri Sarawak. Dalam usaha kita untuk membangunkan negeri ini, isu-isu politik perlu ditangani dengan baik seterusnya. Saya gembira, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan barisan Kabinet Negeri menangani perkara ini secara profesional dan bijaksana.
Keharmonian dan Keamanan Tonggak Perpaduan
Tuan Speaker, kita bersyukur, Negeri Sarawak terus aman dan damai. Keharmonian yang kita nikmati pada hari ini, adalah hasil sikap toleransi dan hubungan erat di kalangan rakyat kita yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, budaya dan agama. Semangat saling mempercayai, hormat-menghormati, adalah menjadi asas kukuh kepada perpaduan rakyat Sarawak sejak dahulu lagi.
Kita bertuah kerana dapat memeliharanya sehingga kekal sampai sekarang tidak terjejas. Perpaduan adalah kekuatan utama yang menjadi tunjang kestabilan dan keamanan di Negeri Sarawak. Perpaduan juga merupakan asas kukuh kepada pembangunan dan kemajuan sosioekonomi kita. Saya menyeru kepada semua pihak, untuk terus memelihara perpaduan dan keamanan di negeri ini agar Malaysia akan terus maju sebagai cita-cita kita bersama di seluruh negara.
Saya percaya, rakyat Sarawak bijak dan tidak mudah terpedaya dengan agenda negatif pihak luar dan menolak anasir-anasir yang cuba menggugat keharmonian yang kita nikmat selama ini.
Saya yakin, dengan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang tegas, berani dan berpandangan jauh, perpaduan kita akan dapat terus diperkukuhkan. Inisiatif Kerajaan
Negeri Sarawak menubuhkan Unit for Other Religions atau UNIFOR untuk menjaga kepentingan agama lain adalah sangat bertepatan dengan perkembangan semasa.
Rundingan Mengenai Perjanjian Malaysia (MA63)
Tuan Speaker, Perjanjian Malaysia 1963 telah menjadikan Sarawak sebagai salah satu daripada wilayah dalam Malaysia. Hak-hak dan kepentingan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang termaktub dalam perjanjian ini perlulah dipelihara dengan cermat dan baik.
Saya gembira, pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia tahun 1963.
Rundingan mengenai hak-hak yang telah terhakis hendaklah dijalankan dengan Kerajaan Persekutuan melalui saluran yang betul. Beberapa jawatankuasa perundingan Perjanjian ini telah dibentuk di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Saya percaya, jawatankuasa ini merupakan landasan terbaik untuk kita merunding dan mendapatkan kembali hak-hak kita. Kepada rakyat semua, janganlah mengambil tindakan melulu di luar batasan undang-undang yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan Negeri Sarawak.
Saya percaya, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan semua pihak yang terlibat dalam rundingan ini, akan terus meletakkan kepentingan Sarawak dan agenda pembangunan untuk rakyat mengatasi segala-galanya.
Saya menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik, untuk terus menyokong usaha kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dalam rundingan untuk mengembalikan semua hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Pelaksanaan 65 Inisiatif Oleh Kerajaan Negeri Sarawak
Tuan Speaker, saya gembira, kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak terus memberi fokus yang penuh kepada pembangunan sosioekonomi negeri. Tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kerana telah berjaya semenjak menerajui kepimpinan Negeri Sarawak pada 13 Januari 2017.
Inisiatif ini merangkumi pelbagai sektor ekonomi untuk faedah rakyat. Ini termasuklah, peningkatan hasil-hasil pendapatan negeri, menyediakan kemudahan asas yang menyeluruh, menubuhkan institusi-institusi strategik, pembangunan ekonomi digital dan modal insan.
Saya menyeru semua pihak untuk terus menyokong pelaksanaan inisiatif ini, demi kepentingan dan masa hadapan Sarawak yang lebih gemilang.
Prestasi Ekonomi Semasa
Tuan Speaker, saya gembira, ekonomi Negeri Sarawak terus berkembang dalam persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu. Sarawak masih mencatatkan
pertumbuhan ekonomi yang positif pada kadar 4.6% bagi tahun 2018.
Saya percaya, kestabilan politik Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Pertumbuhan positif ini juga disokong oleh asas-asas ekonomi kita yang kukuh, tadbir urus yang baik dan pengurusan kewangan yang mantap. Ini terbukti melalui pengiktirafan berterusan good credit rating oleh agensi penarafan kredit antarabangsa.
Pertumbuhan ekonomi yang positif telah membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat di negeri ini. Saya menyeru kepada semua pihak, termasuk pihak swasta, supaya terus berganding bahu untuk membangunkan ekonomi Negeri Sarawak.
Pelaburan Awam dan Swasta
Tuan Speaker, dalam usaha kita untuk membangunkan Negeri Sarawak ke arah Negeri Maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, kita memerlukan banyak pelaburan, sama ada pelaburan tempatan mahupun pelaburan asing.
Saya gembira, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai perancangan dan inisiatif untuk menarik pelaburan. Ini khususnya melalui pemberian insentif pelaburan yang menarik, pembangunan taman-taman perindustrian yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, utiliti dan telekomunikasi.
Peluang-peluang pelaburan dalam pelbagai sektor ekonomi dan kelebihan daya saing Negeri Sarawak, perlu terus dipromosikan secara lebih agresif di peringkat antarabangsa. Ini adalah penting untuk menggalakkan kemasukan lebih banyak pelaburan ke Negeri Sarawak.
Saya gembira, melalui usaha-usaha promosi pelaburan oleh Kerajaan Negeri, Sarawak Corridor of Renewable Energy atau SCORE terus menarik pelaburan asing yang bernilai tinggi, khususnya di Taman Perindustrian Samalaju. Ini telah mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
Penubuhan Agensi-Agensi Pembangunan Wilayah
Tuan Speaker, kita sedar tentang cabaran besar yang dihadapi oleh kerajaan untuk membawa pembangunan ke seluruh Negeri Sarawak. Saya gembira, kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, telah mengambil pendekatan yang baru dan inovatif bagi merancang dan merancakkan pembangunan wilayah negeri kita ini.
Melalui penubuhan Upper Rejang Development Agency, Highland Development Agency, Northern Region Development Agency dan Integrated Regional Samarahan Development Agency, kita akan dapat mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan di wilayah tersebut.
Saya berharap, pembangunan wilayah di negeri ini akan dapat diperluaskan dengan menyediakan infrastruktur dan membangunkan potensi ekonomi secara lebih agresif. Ini adalah mempercepatkan pembangunan wilayah yang seimbang di negeri kita ini.
Sumber Pendapatan Baharu
Tuan Speaker, keperluan peruntukan untuk pembangunan di Negeri Sarawak sentiasa meningkat dari masa ke semasa. Ia memerlukan perancangan dan pengurusan sumber kewangan yang baik. Saya berbangga dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, yang berpandangan jauh dan berani dalam mengenal pasti sumber-sumber pendapatan baharu bagi negeri ini.
Penguatkuasaan undang-undang seperti Oil Mining Ordinance 1958 dan Gas Distribution Ordinance 2016, akan memastikan pembangunan sumber minyak dan gas memberi lebih banyak faedah kepada Negeri Sarawak. Ini seterusnya membantu mempertingkatkan pendapatan kita.
Kepimpinan Negeri Sarawak mengambil langkah baharu dengan memperkenalkan cukai sebanyak 5% ke atas produk-produk petroleum untuk tujuan eksport. Hasil cukai ini yang dianggarkan berjumlah RM3.8 billion setahun akan menjadi sumber kewangan yang penting untuk membiayai pembangunan di negeri ini. Saya menyeru kepada semua pihak untuk terus menyokong usaha-usaha murni Kerajaan Negeri, bagi mempelbagaikan sumber-sumber pendapatan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Pembangunan Luar Bandar Melalui Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar dan Projek Rakyat
Tuan Speaker, kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri sangat prihatin terhadap kehendak rakyat, khususnya di kawasan luar bandar. Pelbagai projek berimpak tinggi dan bersifat people-centric telah diluluskan dan sedang dilaksanakan untuk memenuhi keperluan rakyat.
Di bawah Belanjawan Negeri tahun 2019, sejumlah RM9.076 billion telah diluluskan untuk tujuan pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar. Ini merupakan belanjawan pembangunan tahunan yang tertinggi dalam sejarah Negeri Sarawak.
Saya gembira, Kerajaan Negeri melaksanakan Projek Transformasi Luar Bandar dan Projek Rakyat yang memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur, utiliti dan komunikasi di kawasan luar bandar.
Saya menyeru kepada semua agensi kerajaan, untuk memastikan projek-projek dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual untuk faedah rakyat sekalian.
Inisiatif Ekonomi Digital
Tuan Speaker, saya gembira Yang Amat Berhormat Ketua Menteri memberi fokus yang sangat tinggi terhadap pelaksanaan Ekonomi Digital. Pelbagai inisiatif telah
dilaksanakan seperti penubuhan Sarawak Multimedia Authority, pelancaran Sarawak Digital Economy Strategy 2018 – 2022, Innovation Hub, Sarawak Pay, Digital Village dan kerjasama latihan tenaga mahir di antara Centexs dan Huawei.
Usaha ini akan menyediakan asas yang kukuh bagi Negeri Sarawak dalam pelaksanaan Ekonomi Digital. Saya percaya, penggunaan aplikasi teknologi digital dalam pelbagai sector ekonomi seperti pelancongan, perindustrian, pertanian dan pembangunan bandar pintar, akan terus mempertingkatkan daya saing kita di peringkat global.
Penggunaan teknologi digital juga akan memperluaskan pasaran bagi barangan keluaran kita di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian, usaha untuk membangunkan infrastruktur asas teknologi digital hendaklah dipertingkatkan. Ini termasuklah pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi, kabel fibre optic dan internet berkelajuan tinggi.
Pembasmian Kemiskinan
Tuan Speaker, dalam usaha membangunkan sosioekonomi Negeri Sarawak, kita juga perlu terus memberi fokus kepada golongan miskin. Kita harus merancang program dan projek khas untuk golongan ini dengan lebih teliti. Ini adalah perlu bagi memastikan ia mencapai objektif dan memberi faedah kepada golongan sasaran.
Golongan miskin perlu diberi bantuan melalui program latihan kemahiran dan program peningkatan pendapatan, termasuklah projek keusahawanan dan industri kecil-kecilan. Pembinaan perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan ini juga perlu diperluaskan lagi.
Saya menyeru semua pihak yang berkaitan, untuk terus berganding bahu bagi menjayakan program dan projek pembasmian kemiskinan di negeri kita ini.
Kesejahteraan Bandar
Tuan Speaker, seiring dengan pembangunan ekonomi Negeri Sarawak, bandar-bandar utama khususnya Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu semakin pesat membangun. Penduduk-penduduk kita terus bertumpu di kawasan bandar untuk mendapatkan peluang-peluang perniagaan, pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan yang baik.
Lebih daripada 58.5% penduduk Sarawak kini menetap di kawasan bandar. Pertambahan penduduk ini menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan bandar. Dalam pada itu, ia turut membawa banyak cabaran yang perlu kita tangani dengan lebih bijak. Ini berkehendakan penyelidikan kepada urbanisation policy yang mesti diselidiki dengan cermat dan dengan cukup kebijaksanaan.
Saya menyeru lebih banyak peluang pelajaran dan perniagaan terus diwujudkan di kawasan bandar untuk menampung keperluan rakyat yang semakin bertambah.
Dalam perancangan pembangunan bandar, kita perlu menekankan kualiti kehidupan dan persekitaran yang sihat. Kita tidak mahu bandar-bandar di Sarawak mengalami big city diseases seperti masalah pencemaran, kesesakan lalu-lintas dan
kawasan kediaman. Ini berkehendak kepada perancangan jangka panjang yang lebih teliti.
Saya menyeru konsep Bandar Sejahtera atau Healthy City perlu terus kita terapkan dalam perancangan dan pengurusan bandar-bandar. Penyediaan pelbagai kemudahan yang mencukupi seperti sistem pengangkutan awam yang efisien, perumahan mampu milik seperti lebih banyak kawasan hijau untuk tujuan rekreasi perlu ditekankan.
Dalam gaya kehidupan bandar yang semakin moden, saya berharap rakyat kita akan terus mempertahankan adat dan tradisi, semangat kekitaan, institusi kekeluargaan dan sentiasa saling hormat menghormati.
Isu-Isu Keselamatan
Tuan Speaker, keselamatan dan ketenteraman awam adalah asas utama untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Saya menyeru kepada semua agensi yang bertanggungjawab, untuk terus memberi keutamaan kepada aspek ini.
Penambahbaikan kaedah kawalan dan penyusunan guna tenaga pasukan beruniform perlu dilaksanakan secara bijaksana. Ini adalah perlu supaya penguatkuasaan undang-undang dapat dijalankan secara lebih berkesan. Saya menggesa agar penggunaan aplikasi teknologi pintar dalam usaha membendung dan melaporkan kegiatan jenayah terus diperkasakan.
Melalui pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, Negeri Sarawak akan lebih mudah dihubungi termasuklah dari sempadan Kalimantan, Indonesia. Saya menyeru supaya pihak berkuasa untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk sempadan.
Tuan Speaker, pada zaman digital ini, media sosial menjadi platform yang memudahkan interaksi dan komunikasi. Walaubagaimanpun, penggunaan media sosial yang tidak bertanggungjawab boleh menggugat ketenteraman awam.
Saya menyeru kepada semua rakyat, janganlah membangkitkan perkara-perkara yang boleh menyentuh sensitiviti kaum, peribadi dan kepentingan pihak tertentu.
Pembangunan Modal Insan
Tuan Speaker, pembangunan modal insan sangat penting dalam usaha kita untuk terus membangunkan sosioekonomi Negeri Sarawak.
Saya gembira dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam pembangunan sumber manusia kita. Ini termasuklah tumpuan khusus terhadap bidang sains, teknikal dan vokasional serta latihan berkaitan dengan aplikasi teknologi digital.
Saya yakin, usaha Kerajaan menyediakan banyak institusi latihan teknikal akan dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri. Kita hendaklah memastikan program-program latihan Science, Technology,
Engineering dan Mathematics (STEM) dan Technical serta Vocational Educational Training (TVET) memenuhi kehendak industri dan pasaran pekerjaan semasa.
Saya menyeru kepada semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru, supaya terus menyokong usaha Kerajaan memajukan pendidikan teknikal dan vokasional. Bidang teknikal ini boleh dijadikan sebagai kerjaya pilihan dalam kalangan generasi muda. Ini seterusnya menyokong pembangunan sosioekonomi Negeri Sarawak.
Tuan Speaker, kita harus mewujudkan persekitaran persekolahan yang selesa untuk pelajar-pelajar kita, khususnya di kawasan luar bandar. Mereka ini adalah bakal pemimpin masa hadapan negeri kita kelak.
Saya bangga dengan usaha yang telah diambil oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri terhadap sekolah-sekolah yang rosak dan uzur di kawasan luar bandar. Ini termasuklah membina sekolah baru bagi menggantikan sekolah yang tidak lagi selamat untuk digunakan.
Saya gembira dengan langkah proaktif dan bijak Kerajaan Negeri Sarawak yang bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi membaiki dan membina semula sekolah daif di negeri ini. Sekolah ini haruslah dilengkapi dengan kemudahan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi bagi melancarkan proses pembelajaran anak-anak kita.
Pembangunan Alam Sekitar Yang Mapan
Tuan Speaker, kita bersyukur, Sarawak mempunyai alam semula jadi yang luas. Hutan hujan tropika kita masih dilitupi oleh pelbagai flora dan fauna. Taman-taman Negara dan Taman Hidupan Liar kita masih kekal seperti sedia kala. Ini semua adalah hasil daripada pengurusan alam sekitar kita yang mapan sejak dahulu lagi.
Saya menyeru supaya alam sekitar kita terus dipelihara dan dikekalkan untuk generasi yang akan datang. Flora dan fauna kita mempunyai nilai yang sangat tinggi bagi tujuan penyelidikan dan berpotensi untuk dikomersialkan. Kehijauan alam kita juga merupakan aset penting bagi sektor pelancongan.
Dalam perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan, kita harus mengambil kira kesan-kesan terhadap alam sekitar. Penguatkuasaan undang-undang alam sekitar juga perlu diperkasakan.
Mengurus Kehendak Dan Jangkaan Rakyat
Tuan Speaker, dalam dunia yang kini berpaksikan aplikasi teknologi digital, rakyat mendapat capaian yang mudah terhadap pelbagai maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan termasuklah melalui media sosial.
Jangkaan dan harapan rakyat kepada kerajaan kini semakin tinggi. Rakyat memerlukan respon segera daripada agensi-agensi kerajaan terhadap pelbagai isu, khususnya secara dalam talian (online). Ini memberikan cabaran besar kepada kerajaan. Oleh yang demikian, ia perlu ditangani dan diurus secara bijaksana.
Saya gembira, Kerajaan Negeri Sarawak mengambil berat terhadap kehendak rakyat. Penubuhan Unit Komunikasi Awam atau UKAS merupakan langkah terbaik untuk menyampaikan maklumat-maklumat yang tepat mengenai polisi dan inisiatif kerajaan kepada rakyat secara online.
Ketelusan Dan Integriti
Tuan Speaker, Kita sedar bahawa kerajaan memegang amanah rakyat. Oleh yang demikian, kita mesti melaksanakan tugas dengan amanah dan penuh integriti. Saya gembira, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri mengambil serius perkara ini.
Penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman serta pelantikan Pegawai Integriti Bertauliah di setiap agensi negeri, merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri Sarawak dalam mempertingkatkan ketelusan dan tadbir urus kerajaan. Saya berharap, semua pihak memberi sokongan penuh dalam pelaksanaan inisiatif ini.
Pengurusan Kewangan Berhemah
Tuan Speaker, saya bangga, Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai pengurusan kewangan yang telus dan berhemah. Syabas kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan barisan Kabinet serta agensi-agensi Kerajaan Negeri, di atas pengiktirafan clean bill bagi pengurusan kewangan negeri oleh Jabatan Audit Negara.
Pengurusan kewangan yang baik selama ini, telah menyumbang kepada peningkatan rezab kewangan negeri. Ini sudah semestinya mengukuhkan kedudukan kewangan negeri.
Harapan saya, semua agensi Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk sentiasa menambahbaik dan melaksanakan kaedah pengurusan kewangan yang berhemah untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Kecekapan Dan Ketelusan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam Kerajaan
Kecekapan dan ketelusan sistem penyampaian perkhidmatan awam Kerajaan adalah sangat penting dalam konteks ini.
Tuan Speaker, perkhidmatan awam merupakan tunjang pentadbiran pembangunan sesebuah negara. Penjawat awam adalah pendokong dasar kerajaan serta pelaksana projek pembangunan. Oleh yang demikian, perkhidmatan awam kita perlu terus diperkasakan.
Saya gembira, perkhidmatan awam Negeri Sarawak telah menunjukkan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi. Perkhidmatan awam Negeri Sarawak perlu terus efisien dan berkembang selaras dengan perkembangan semasa.
Pelbagai cabaran yang dicetuskan oleh perkembangan teknologi digital serta persekitaran ekonomi global, perlu juga ditangani dengan bijak.
Oleh itu, tenaga kerja yang kompeten adalah sangat perlu bagi memastikan perkhidmatan awam terus cemerlang dalam menyumbang kepada pembangunan Negeri Sarawak kita ini.
Penutup
Tuan Speaker, saya menyeru semua pihak, supaya terus gigih berusaha untuk membangunkan Negeri Sarawak menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. Kita perlu terus mewujudkan peluang-peluang ekonomi untuk membolehkan rakyat mempertingkatkan tahap sosioekonomi dan kualiti hidup.
Dalam pada itu, pertahankanlah perpaduan dan hargailah keamanan yang kita nikmati hari ini. Jangan biarkan anasir-anasir luar mengganggukan keharmonian negeri kita.
Saya menyeru agar Ahli-Ahli Yang Berhormat terus memberikan khidmat yang cemerlang di kawasan masing-masing. Ahli-Ahli Yang Berhormat perlu menyumbang idea dan saranan yang bernas, untuk membantu Kerajaan Negeri menggubal dasar-dasar yang lebih strategik bagi mempertingkatkan lagi pembangunan sosioekonomi Negeri Sarawak.
Akhir sekali, saya berharap supaya Ahli–Ahli Yang Berhormat dapat berbahas dan bersidang dalam suasana yang penuh tertib, sopan dan berhemah. Tunaikanlah amanah dan tanggungjawab dengan penuh ikhlas demi kepentingan rakyat, negeri dan seluruh negara.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa supaya persidangan kali ini dapat berjalan dengan lancar dan jayanya.
Saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa kepada seluruh masyarakat Islam dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tiba. Kepada masyarakat Dayak pula, saya ucapkan selamat menyambut Hari Gawai Dayak.
Saya berharap, kita akan menjadikan perayaan- perayaan ini sebagai landasan untuk terus mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan kita. Kita telah pun berjaya menjadikan temasya ini sebagai hari bertemu dengan mesra dan merapat lagi hubungan rakyat kita berbilang kaum. Saya harap kita akan dapat terus bersosial supaya rakyat Sarawak akan terus rapat hubungannya dan mempunyai perasaan muhibah yang bertambah daripada satu masa ke satu masa.
Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bacaan Doa
Sidang Dewan yang dihormati sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ucapan dan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelapan Belas pada pagi ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sesi bergambar untuk semua Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama Tuan Yang Tertutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan diadakan di anjung hadapan bangunan ini sejurus selepas majlis jamuan tengah hari. Dewan akan bersidang semula pada jam 9.00 pagi pada keesokan hari, Selasa, 30 April 2019.
[Keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib meninggalkan Dewan Mesyuarat]
(Mesyuarat ditangguhkan pada jam 11.51 pagi)
Ketua Menteri
1/2019 Lembaga Kemajuan Bintulu - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 2/2019 Dewan Bandaraya Kuching Utara - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 3/2019 Majlis Bandaraya Kuching Selatan - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 4/2019 Sarawak Higher Education Foundation - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 5/2019 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak - Laporan Tahunan bagi tahun 2018 6/2019 Pustaka Negeri Sarawak - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017
Menteri Kewangan
7/2019 Second Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2018 - (Cmd. 1 of 2019) 8/2019 Memorandum on the Second Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2018 - (Cmd. 2 of 2019) 9/2019 Second Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2018 - (Cmd. 3 of 2019) 10/2019 Memorandum on the Second Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2018 - (Cmd. 4 of 2019) 11/2019 First Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2019 - (Cmd. 5 of 2019) 12/2019 Memorandum on the First Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2019 - (Cmd. 6 of 2019) 13/2019 First Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2019 - (Cmd. 7 of 2019) 14/2019 Memorandum on the First Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2019 - (Cmd. 8 of 2019)
15/2019 Laporan Ketua Audit Negara 2016 - Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Sarawak 16/2019 Laporan Ketua Audit Negara 2016 (Siri 1) - Pengurusan Aktiviti / Kewangan Kementerian / Jabatan / Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Sarawak 17/2019 Laporan Ketua Audit Negara 2016 (Siri 2) - Pengurusan Aktiviti Kementerian / Jabatan / Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Sarawak Tahun 2016 18/2019 The Conveyance, Computer and Household Appliances - Penyata Akaun Amanah bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 19/2019 Unallocated Stores Trust Fund Directions, 2019 - The Financial Procedure (Contingencies and Trust Funds) Ordinance, 1963 20/2019 Kerajaan Negeri Sarawak - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2016 21/2019 Government Contributions Towards Approved Agencies Trust Fund - Penyata Kewangan bagi tahun 2015 sehingga 2017 22/2019 State Road Maintenance Trust Fund - Penyata Kewangan bagi tahun 2006 sehingga 2017 23/2019 The Front-End Engineering Trust Fund Direction 2019 - The Financial Procedure (Contingencies and Trust Funds) Ordinance, 1963
Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah
24/2019 Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 25/2019 Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017
Menteri Pembangunan Infrastruktur Dan Pengangkutan Sarawak
26/2019 Lembaga Sungai-Sungai Sarawak - Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 27/2019 Kumpulan Wang Amanah Awam Dana Boya dan Api Negeri Sarawak - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017
Menteri Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli Sarawak
28/2019 Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 29/2019 Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017
Menteri Utiliti Sarawak
30/2019 Lembaga Air Sibu - Penyata Kewangan dan Laporan Tahunan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 31/2019 Lembaga Air Kuching - Penyata Kewangan dan Laporan Tahunan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 32/2019 LAKU Management Sdn. Bhd. - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017
Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sarawak
33/2019 Majlis Bandaraya Miri - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 34/2019 Majlis Perbandaran Padawan - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 35/2019 Majlis Daerah Lundu - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 36/2019 Majlis Perbandaran Kota Samarahan - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 37/2019 Majlis Daerah Sri Aman - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 38/2019 Majlis Daerah Betong - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 39/2019 Majlis Daerah Saratok - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 40/2019 Majlis Daerah Marudi - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 41/2019 Majlis Daerah Subis - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017
42/2019 Majlis Daerah Limbang - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 43/2019 Majlis Daerah Lawas - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 44/2019 Majlis Perbandaran Sibu - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 45/2019 Majlis Daerah Bau - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 46/2019 Majlis Daerah Serian - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 47/2019 Majlis Daerah Simunjan - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 48/2019 Majlis Daerah Matu-Daro - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 49/2019 Majlis Daerah Kapit - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017