Sarawak · 17 May 2022
19th Assembly, 1st session, 2nd meeting (unedited) · not final · 12 turns · 3,012 words · official PDF ↗
ExperimentalSarawak publishes only unedited transcripts (Belum Disunting). The 19th Assembly was dissolved on 26 Oct 2026. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dif-dif kenamaan,Tuan-tuan dan Puan-puan. Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya maka kita dapat berjumpa lagi di Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Yang Ke-19. Saya mengucapkan selamat datang dan terima kasih atas kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat ke persidangan pada kali ini. Persidangan kita akan berlangsung selama lapan hari, mulai hari ini Selasa 17 hingga 26 Mei 2022 kecuali Sabtu, 21 Mei 2022 dan Ahad 22 Mei 2022. Semoga kita dapat bersidang dalam suasana yang muhibah dan penuh tatatertib. Sidang Dewan yang dihormati, sekali lagi persidangan kita pada kali ini berlangsung di dalam bulan Syawal. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan masih lagi berkobar-kobar teras dalam suasana meraikan masih berterusan. Dengan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di dalam dan juga di luar Dewan. Maaf Zahir dan Batin.
Alhamdulillah, Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat disambut dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan kemeriahan. Namun, adalah terus menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa kita semua sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri agar dapat menjauhkan jangkitan daripada sebarang penyakit.
Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada para penganut agama Buddha. Semoga kemakmuran terus dicapai oleh semua masyarakat di Malaysia. Sidang Dewan yang dihormati sekalian, sukacita saya memaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan hadir untuk menyampaikan ucapan kepada sidang Dewan pada pagi ini. Dengan itu, saya menangguhkan mesyuarat Dewan sebentar untuk membolehkah saya mengiringi keberangkatan masuk Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib ke dalam Dewan.
(Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 11.03 pagi)
(Mesyuarat dimulakan pada pukul 11.15 pagi)
[Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib, diiringi oleh Tuan Speaker, Timbalan Speaker, Setiausaha Dewan dan Bentara Mesyuarat masuk ke Dewan Mesyuarat]
Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan-tuan dan Puan-puan. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua, kita sekali lagi dapat bersama-sama berada di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak khususnya dalam pasca pandemik ini. Saya berharap persidangan ini dizahirkan dalam suasana yang aman dan harmoni.
Tahun 2022 merupakan tahun yang penting ke arah pemulihan ekonomi Sarawak. Walaupun masih berhadapan dengan cabaran kesan daripada pandemik COVID-19, saya bersyukur Sarawak sudah berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
Pembukaan semula sektor-sektor ekonomi dan aktiviti-aktiviti sosial serta pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi sudah pasti akan merancakkan semula aktiviti sektor-sektor ekonomi yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.
Saya ingin menasihatkan agar semua Ahli-ahli Yang Berhormat menjadikan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun strategi dan pelan tindakan untuk membantu rakyat dan membangunkan ekonomi kita seterusnya.
Ucapan Penghargaan
Tuan Speaker, tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang lalu dengan memenangi 76 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Saya percaya kebijaksanaan kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier dan keyakinan rakyat terhadap jentera pentadbiran GPS telah mendorong kepada kemenangan yang besar tersebut.
Ucapan tahniah juga kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing. Saya menaruh keyakinan bahawa Premier Sarawak bersama jentera pentadbiran beliau akan terus memimpin Sarawak ke persada yang lebih tinggi.
Terima kasih dan syabas kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), pasukan beruniform dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang lalu. Saya bersyukur kerana tiada insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pilihan raya diadakan. Saya berbangga dengan keupayaan dan kemampuan jentera pilihan raya negeri yang telah berjaya melaksanakan proses pilihan raya dengan teratur dan berkesan.
Kestabilan Politik
Tuan Speaker, Gabungan Parti Sarawak ataupun GPS telah menunjukkan dan mengamalkan suasana berpolitik yang matang dan meletakkan keharmonian dan kestabilan negeri sebagai agenda utama. Walaupun Pilihan Raya Negeri Ke-12 telah diadakan dalam tempoh waktu yang sukar akibat penularan wabak COVID-19, namun, rakyat kita telah berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Saya percaya rakyat kita telah membuat pilihan yang tepat kerana memilih sebuah Kerajaan yang mantap dan juga sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dalam setiap tindakannya.
Saya bersyukur dan bangga kerana rakyat di Negeri ini kekal bersatu dan tenang dalam menghadapi tekanan wabak COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Inilah kekuatan yang kita ada dan hendaklah dipertahankan seterusnya. Kepercayaan rakyat Sarawak terhadap program dan usaha Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam menangani wabak tersebut sangat ketara dan mempersiapkan Negeri kita beralih ke fasa endemik.
Saya menyeru rakyat, terutamanya generasi muda untuk terus mengekalkan usaha harmoni dan toleransi. Keamanan dan perpaduan adalah hadiah warisan yang paling bermakna daripada kita kepada generasi akan datang.
Penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri
Tuan Speaker, ucapan takziah saya sampaikan kepada Ahli dan keluarga mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut anak Masing, mantan Timbalan Premier Sarawak yang telah meninggal dunia pada bulan Oktober tahun 2021. Negeri kita telah kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa memperjuangkan kemajuan masyarakat terutamanya di luar bandar. Sumbangan beliau amat besar dalam kemajuan dan pembangunan negeri. Jasa beliau tetap kita kenang dalam lipatan sejarah politik Negeri ini.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih saya kepada mantan Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyumbang bakti di DUN masing-masing. Jasa mereka akan mewarnai politik dan pembangunan di Negeri ini tetap membanggakan. Saya percaya; amanah, idea dan tanggungjawab yang digalas selama ini akan diingati dan hanya Allah S.W.T. yang akan memberikan ganjarannya.
Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Sarawak
Tuan Speaker, saya yakin kepimpinan Sarawak sentiasa berusaha untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan. Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan dan sokongan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Sarawak. Saya turut bersyukur pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan yang berkaitan dengan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Disember 2021. Ini mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan membuktikan semangat kesatuan dalam Keluarga Malaysia telah wujud dikekalkan.
Ini mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan membuktikan semangat kesatuan dalam Keluarga Malaysia telah wujud dikekalkan. Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan perhatian yang khusus kepada pembangunan di Sarawak terutamanya dalam bidang ekonomi dan pembangunan infrastruktur. Saya yakin pembangunan sosioekonomi Sarawak akan dapat dikembangkan setara dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia.
Saya percaya Sarawak tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia yang mementingkan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS)
Tuan Speaker, pandemik COVID-19 telah menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat kita. Bagi menangani cabaran ini, Yang Amat Berhormat Premier telah meluluskan lapan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang berjumlah RM5.7 bilion sejak bulan April 2020 hingga Jun 2022. Saya bersyukur kerana Kerajaan Sarawak mempunyai kedudukan kewangan yang baik. Kita mampu memberikan bantuan bagi meringankan beban kewangan rakyat, peniaga-peniaga kecil, usahawan dan syarikat perniagaan yang terkesan oleh COVID-19.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua wira barisan hadapan terutamanya Jabatan Kesihatan Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua Jabatan dan agensi Kerajaan yang terlibat dalam misi menangani penularan COVID-19.
Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030
Tuan Speaker, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ialah rancangan pembangunan jangka panjang dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi supaya kita boleh menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan. PCDS 2030 akan mengubah struktur ekonomi, memoden dan meningkatkan kecekapan produktiviti, meningkatkan pendapatan isi rumah dan memastikan kelestarian alam sekitar.
Saya yakin Kerajaan Sarawak telah merangka pelan pelaksanaan yang komprehensif dan memastikan semua projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat. Saya menggesa semua agensi pelaksana dan pemantauan Kerajaan, untuk memantau pelaksanaan projek dan rancangan PCDS 2030 bagi mencapai hasil dan sasaran yang diinginkan. Saya juga menggesa agar sektor swasta dan semua masyarakat di Sarawak memberikan sokongan padu dan mengambil bahagian secara aktif dalam rancangan ini. Dengan dedikasi dan komitmen penuh daripada semua orang, saya yakin dalam beberapa tahun akan datang, landskap pembangunan Sarawak akan berubah dan ekonomi kita akan terus berkembang maju.
Pembangunan Sumber Ekonomi Baru
Tuan Speaker, melangkah ke arah 2030, Sarawak akan terus meneroka idea baharu untuk pembangunan masa depannya. Saya gembira kerana Yang Amat Berhormat Premier telah memperkenalkan inisiatif berpandangan jauh untuk mengubah ekonomi kita. Saya bangga Sarawak berada di barisan hadapan dalam pembangunan ekonomi hidrogen di Asia Tenggara (SEA).
Ekonomi hidrogen akan menjadi penyumbang besar kepada kesejahteraan ekonomi Sarawak apabila kita telah mengurangkan kebergantungan kepada industri tradisional. Kita akan mencipta sumber pendapatan baharu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber asli dan bahan api fosil yang semakin berkurangan.
Saya gembira Sarawak bekerjasama dengan sektor swasta dan Kerajaan asing untuk memanfaatkan potensi pasaran karbon. Aliran hasil baharu daripada sumber hutan akan dijana untuk projek perdagangan karbon.
Pemodenan Sektor Pertanian
Tuan Speaker, Sarawak mempunyai tanah yang boleh digunakan untuk aktiviti pertanian berskala besar. Saya menggesa lebih banyak sektor swasta untuk terlibat sepenuhnya dalam sektor pertanian melalui automasi dan aplikasi teknologi moden seperti Internet of Things ataupun (IOT) untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti.
Saya yakin dalam beberapa tahun akan datang, sektor pertanian di Sarawak akan berubah menjadi sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi, sekaligus menjadi pengeksport utama makanan di Malaysia.
Pembangunan Infrastruktur
Tuan Speaker, Kerajaan Sarawak sangat komited untuk menyediakan infrastruktur asas dan perkhidmatan telekomunikasi kepada rakyat. Pembangunan infrastruktur asas seperti rangkaian jalan raya, penyediaan bekalan air dan elektrik, menaik taraf jambatan akan mempercepatkan pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat kita. Lebih penting lagi, Kerajaan Sarawak hendaklah memberi penekanan segera untuk menangani projek infrastruktur dan telekomunikasi yang lewat bagi memastikan penyampaian tepat pada masanya. Saya gembira kerana agensi pelaksana akan menyegerakan pelaksanaan projek infrastruktur yang tertangguh akibat COVID-19 supaya rakyat dapat menikmati faedahnya.
Saya mengalu-alukan usaha Kerajaan Sarawak untuk terus menyediakan sistem pengangkutan yang cekap ke pusat-pusat ekonomi utama di Sarawak. Sistem pengangkutan awam ini akan menggunakan teknologi pelepasan karbon rendah dan mengguna pakai penyelesaian digital. Memandangkan ekonomi Sarawak adalah ekonomi terbuka, pelabuhan laut memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan barangan. Ini akan meningkatkan perdagangan dan menyokong rantaian bekalan makanan.
Saya menggesa Kerajaan Sarawak untuk mengkaji dan menambahbaik pengurusan pelabuhan laut kita dengan penggunaan inovasi dan menerima pakai teknologi baharu untuk menambah baik ekosistem dan memastikan Sarawak akan menjadi destinasi pro-perdagangan dan pro-pelaburan. Saya yakin dengan pembangunan infrastruktur moden yang kita ada, Sarawak akan menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif di rantau ini.
Transformasi Digital
Tuan Speaker, saya gembira kerana kita mempunyai seorang pemimpin berwawasan yang boleh membawa kita ke arah pembangunan ekonomi digital. Kerajaan Sarawak telah memulakan program pendigitalan sejak tahun 2018 dengan menyediakan infrastruktur telekomunikasi, membangunkan aplikasi pintar dan perkongsian data awam.
Saya juga berbangga kerana Sarawak adalah negeri yang pertama di Malaysia yang mempunyai e-dompet sendiri iaitu S Pay Global. E-dompet ini menjadikan kita lebih cekap untuk menyalurkan bantuan kewangan BKSS kepada rakyat Sarawak yang layak. Ia telah memudahkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan dan perniagaan semasa pandemik.
Melangkah ke hadapan, saya berharap Kerajaan Sarawak akan terus menambah baik sambungan internet kita dan menarik lebih banyak industri baharu ke Sarawak. Melalui transformasi digital, Sarawak akan berpeluang menikmati pendapatan tinggi, dengan kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi.
Saya yakin transformasi digital akan membantu meningkatkan banyak ekosistem perniagaan kita, mengurangkan ketidakcekapan birokrasi, meningkatkan ketelusan dan memastikan Sarawak terhubung baik dengan dunia melalui kerjasama industri.
Peluang Sosioekonomi Serantau
Tuan Speaker, saya menjangkakan peluang sosioekonomi yang besar hasil daripada pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan. Jarak yang dekat antara kita dengan Nusantara akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala ini. Saya gembira Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengorak langkah ke hadapan untuk membangunkan sambungan kuasa rentas sempadan ke Kalimantan Barat.
Selain itu, SEB juga bekerjasama dengan Syarikat Indonesia untuk membangunkan projek hidroelektrik di Kalimantan Utara. Kedua-dua projek ini akan melengkapkan Grid Kuasa ASEAN.
Saya berharap sektor swasta di luar sana bersedia dan bersama-sama merebut dan memanfaatkan peluang perdagangan dan ekonomi ini nanti.
Keselamatan Awam dan Sempadan
Tuan Speaker, keselamatan awam dan sempadan kita adalah penting kepada kedaulatan negara. Oleh itu, saya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak bagi memperkukuhkan keselamatan sempadan kita. Saya juga menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memperhebatkan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan rentas sempadan kita.
Ini akan memastikan keselamatan awam dan keselamatan sempadan kita tidak akan terancam dalam usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju.
Kemampanan Alam Sekitar
Tuan Speaker, menangani perubahan iklim merupakan usaha berskala besar untuk memerangi pemanasan global dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di seluruh negara.
Saya bersyukur kerana Strategi Pembangunan Sarawak Pasca COVID-19 2030 telah memasukkan pembangunan mampan dan perubahan iklim sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan di Sarawak.
Saya juga memuji inisiatif Kerajaan dalam menubuhkan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang baharu. Kementerian ini berperanan untuk memberikan hala tuju, menyelaraskan pembangunan agenda hijau, tenaga boleh diperbaharui dan perubahan iklim di Negeri kita ini.
Kita perlu bekerjasama dengan pakar dari pelbagai badan antarabangsa mengenai undang-undang dan iklim untuk menangani isu perubahan iklim kerana ia adalah fenomena di seluruh dunia yang memerlukan usaha padu daripada semua negara.
Kemiskinan
Tuan Speaker, kemiskinan adalah kitaran hidup yang hanya boleh dipecahkan melalui pendidikan. Saya gembira Kerajaan Sarawak memberi penekanan yang lebih tinggi terhadap pendidikan berkualiti kepada anak-anak daripada isi rumah miskin.
Dengan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, generasi muda kita akan berdaya saing dan dapat melibatkan diri dalam aktiviti yang produktif dan berpendapatan tinggi.
Saya mengucapkan tahniah di atas penubuhan lima buah sekolah antarabangsa untuk kanak-kanak cemerlang daripada keluarga B40 terutamanya dari kawasan luar bandar. Ini akan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menikmati pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa untuk masa depan yang lebih baik.
Tuan Speaker, masyarakat Islam di Sarawak masih lagi dalam suasana perayaan menyambut Hari Raya. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakyat Sarawak.
Tidak lupa juga kepada masyarakat Dayak yang akan meraikan Hari Gawai pada 1 Jun 2022. Saya mengucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai.
Akhir kata, saya mendoakan agar Allah S.W.T. sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua serta melindungi Sarawak yang tercinta ini daripada sebarang unsur negatif supaya kita terus maju dan makmur.
Sekali lagi saya berpesan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk mengambil peluang ini bagi membahaskan isu–isu rakyat secara berhemah sepanjang persidangan ini.
Dengan lafaz bismillaahirrahmaanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Persidangan Kedua, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Sarawak Yang Ke-19.
Sekian, Wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bacaan Doa
Sidang Dewan yang dihormati sekalian. Bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ucapan dan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Yang Kesembilan Belas pada pagi ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sesi bergambar untuk semua Ahli-ahli Yang Berhormat bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan diadakan di anjung hadapan bangunan ini sejurus selepas Majlis Jamuan Tengah Hari. Dewan akan bersidang semula pada pukul 9.00 pagi esok, Rabu, 18 Mei 2022.
(Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 12.01 tengah hari)
LAPORAN-LAPORAN, ‘COMMAND PAPERS’, ‘HANSARD’ DAN ‘VOTES AND PROCEEDINGS’ YANG DIBENTANG PADA 17 MEI 2022
Premier Sarawak
117/2022 Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 118/2022 Penyata Terimaan dan Bayaran Akaun Pinjaman Pengangkutan, Komputer dan Alat/Perkakas Isi Rumah bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 119/2022 Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 120/2022 Penyata Akaun Amanah The Conveyance, Computer and Household Appliances bagi tahun berakhir 31 Disember 2016 121/2022 Penyata Akaun Amanah The Conveyance, Computer and Household Appliances bagi tahun berakhir 31 Disember 2018 122/2022 Penyata Terimaan dan Bayaran Akaun Pinjaman Pengangkutan, Komputer dan Alat/Perkakas Isi Rumah bagi tahun berakhir 31 Disember 2019 123/2022 Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) - Annual Report 2020
Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baru
124/2022 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Serta Pengauditan Pematuhan Kementerian/ Jabatan/ Agensi Negeri Sarawak Tahun 2020 125/2022 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sarawak 2020
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
126/2022 Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 127/2022 Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 - Majlis Bandaraya Miri 128/2022 Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 - Majlis Daerah Lundu 129/2022 Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 - Majlis Daerah Serian 130/2022 Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 - Majlis Daerah Simunjan 131/2022 Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 - Majlis Daerah Saratok 132/2022 Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 - Majlis Daerah Luar Bandar Sibu 133/2022 Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 - Majlis Daerah Marudi 134/2022 Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 - Majlis Daerah Lawas
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan
135/2022 The Financial Procedure (Contingencies and Trust Funds) Ordinance 1963 Sarawak Heritage Trust Fund Direction 2020
Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan
136/2022 Perbadanan Sukan Sarawak - Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti
137/2022 Penyata Penerimaan dan Pembayaran Endowment Fund Sarawak bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 138/2022 Penyata Penerimaan dan Pembayaran Post-Natal Assistance (BIB) Trust Fund bagi tahun berakhir 31 Disember 2021
Menteri Pengangkutan
139/2022 Penyata Terimaan dan Bayaran Tabung Amanah Bendungan Sungai-Sungai Sarawak bagi tahun berakhir 31 Disember 2019 140/2022 Penyata Terimaan dan Bayaran Tabung Amanah Bendungan Sungai-Sungai Sarawak bagi tahun berakhir 31 Disember 2020
Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat
141/2022 Sarawak Research and Development Council (SRDC) - Annual Report 2020 142/2022 Sarawak Research and Development Council (SRDC) - Annual Report 2018 - 2019
Dewan Undangan Negeri Sarawak
143/2022 Penyata Rasmi Mesyuarat Pertama bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Yang Kesembilan Belas – 14 hingga 16 Februari 2022 144/2022 Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat (Votes and Proceedings) - 14 hingga 16 Februari 2022 145/2022 Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat (Votes and Proceedings) - 19 hingga 28 November 2012 146/2022 Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat (Votes and Proceedings) - 14 hingga 23 Mei 2012 147/2022 Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat (Votes and Proceedings) - 14 hingga 23 November 2011 148/2022 Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat (Votes and Proceedings) - 20 hingga 29 Jun 2011