Sarawak · 6 May 2024
19th Assembly, 3rd session, 1st meeting (unedited) · not final · 12 turns · 4,429 words · official PDF ↗
ExperimentalSarawak publishes only unedited transcripts (Belum Disunting). The 19th Assembly was dissolved on 26 Oct 2026. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat pagi dan Salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, dif-dif kenamaan, tuan-tuan, dan puan-puan. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, maka kita dapat berjumpa lagi di Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-19. Saya mengucapkan selamat datang dan terima kasih atas kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat ke persidangan yang kali ini dan kepada semua yang hadir pada hari ini.
Persidangan kita akan berlangsung selama 8 hari mulai hari ini, Isnin, 6 hingga 15 Mei 2024 kecuali Sabtu, 11 Mei 2024 dan Ahad, 12 Mei 2024. Semoga kita dapat bersidang dalam suasana yang muhibah dan penuh tatatertib. Sidang Dewan yang dihormati sekalian, persidangan kita pada kali ini masih lagi berlangsung dalam bulan Syawal. Suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri masih terasa dan semangat meriahnya masih berterusan. Dengan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua di dalam dan juga di luar Dewan yang mulia ini, maaf zahir dan batin.
Dengan kesempatan ini, Dewan yang mulia ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar atas pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ke-8 pada 26 Januari 2024. Juga, atas pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun pada 26 Januari 2024 dan atas penganugerahan Darjah Satria Bintang Sarawak yang membawa gelaran “Pehin Sri” pada 28 Februari 2024. Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Senator Tuan Pele Peter Tinggom, mantan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sarawak yang telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 5 Mac 2024 yang lepas. Setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau atas sumbangan khidmat bakti yang amat cemerlang semasa bertugas sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sarawak sejak September 2019 hingga Mac 2024.
Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi pihak Dewan yang mulia ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berusaha Tuan Nur Azhar bin Bujang atas pelantikan sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baharu pada 28 Mac 2024 yang lepas. Selamat maju jaya dalam menjalankan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas dan berdedikasi di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Ahli-ahli Yang Berhormat, I have granted leave of absence under Standing Order 81 to Yang Berhormat Dato Sri Tiong King Sing, Honourable Member for N.52 Dudong for today’s Sitting. Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi pihak Dewan yang mulia ini juga, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, mantan Ketua Menteri Sarawak dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Balingian yang telah meninggal dunia pada 21 Februari 2024; dan kepada keluarga Allahyarham Yang Berbahagia Datuk Abdul Ajis bin Abdul Majeed, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Balingian yang telah meninggal dunia pada 27 April 2024. Bagi menghormati kedua-dua Allahyarham, marilah kita bersama-sama berdiri bertafakur selama satu minit untuk membaca Al-Fatihah untuk Allahyarham.
(Bertafakur selama satu minit)
Terima kasih. Sidang Dewan yang dihormati sekalian. Sukacita saya memaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri akan hadir untuk menyampaikan ucapan kepada sidang Dewan pada pagi ini. Dengan itu, saya menangguhkan mesyuarat Dewan sementara untuk membolehkan saya mengiringi keberangkatan masuk Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi ke dalam Dewan.
(Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 10.37 pagi)
[Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, diiringi oleh Tuan Speaker, Timbalan Speaker, Setiausaha Dewan, Pemangku Timbalan Setiausaha Dewan dan Bentara Mesyuarat masuk ke Dewan Mesyuarat]
(Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.50 pagi)
Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Premier, Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan-tuan dan Puan-puan. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat bersama lagi pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas. Harapan saya, semua Ahli-ahli Yang Berhormat menjadikan sesi persidangan kali ini sebagai platform yang efektif dan efisien bagi membentuk masa depan Sarawak yang lebih cerah.
Takziah kepada Keluarga Mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak
Tuan Speaker, pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang telah kembali ke rahmatullah pada 21 Februari 2024 bersamaan 11 Syaaban 1445 Hijrah. Mari kita sama-sama doakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Penghargaan kepada sumbangan Mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak
Tuan Speaker, Almarhum Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud merupakan pemimpin ulung yang telah bertanggungjawab terhadap pemodenan Sarawak. Sumbangan Almarhum tidak ternilai, khususnya sepanjang tempoh 33 tahun sebagai Ketua Menteri dan 10 tahun sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Kepimpinan Almarhum telah berjaya mengubah status ekonomi dan taraf hidup rakyat Sarawak. Sarawak kini merupakan sebuah wilayah yang progresif dengan ekonomi berasaskan industri berteknologi tinggi dan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur moden.
Sesungguhnya, pemergian Almarhum merupakan satu kehilangan besar kepada Sarawak dan juga kepada Malaysia secara umumnya. Sumbangan Almarhum akan sentiasa kita kenang. Saya percaya, legasi pembangunan Almarhum akan diteruskan oleh barisan kepimpinan Kerajaan Sarawak.
Junjungan Kasih kepada Mantan Yang di-Pertuan Agong yang ke-16
Tuan Speaker, saya ingin merakamkan junjungan kasih yang tidak terhingga kepada mantan Yang di-Pertuan Agong yang ke-16, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang telah menaungi dan menerajui negara Malaysia bagi tempoh Januari 2019 sehingga Januari 2024.
Kita merasa bertuah kerana di bawah kepimpinan baginda yang bijaksana, kita telah berjaya mengharungi cabaran getir yang dicetus oleh pandemik COVID-19. Dalam tempoh yang sama, baginda juga telah menyelesaikan kemelut politik yang menjadi asas kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara.
Baginda merupakan seorang ketua negara yang berjiwa rakyat, adil dan prihatin terhadap keperluan rakyat pelbagai peringkat. Ini terserlah melalui program Kembara Kenali Borneo apabila baginda dan raja permaisuri berserta anakanda-anakanda baginda telah menjelajah Sarawak dan Sabah pada 3 hingga 13 September 2023.
Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
Tuan Speaker, pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-17. Saya percaya negara kita akan terus maju, aman dan makmur di bawah kepimpinan baginda yang bijaksana, adil dan berjiwa rakyat.
Menjunjung Kasih atas Perkenan Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-8
Tuan Speaker, saya menjunjung kasih dan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan saya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ke-8. Insya-ALLAH, saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan amanah dan jujur demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Penghargaan atas Pelantikan Yang di-Pertua Dewan Negara
Tuan Speaker, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Senator Datuk Mutang Tagal, atas pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20. Pelantikan Yang Berhormat Senator merupakan satu penghormatan besar kepada rakyat Sarawak. Saya yakin dengan pengalaman beliau yang luas sebagai pengamal undang-undang dan pernah menjadi ahli Dewan Rakyat, beliau dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan jayanya.
Isu dan Cabaran Global
Tuan Speaker, dalam membangunkan sosioekonomi Sarawak, kita tidak terlepas daripada pelbagai cabaran di peringkat global seperti isu perdagangan antarabangsa, perubahan iklim, konflik dan ketegangan wilayah di beberapa negara, yang memberi kesan kepada perdagangan luar Sarawak. Dalam masa yang sama, kita harus mematuhi standard dan kesepakatan antarabangsa seperti Perjanjian Paris 2015, Sustainable Development Goals (SDGs); dan Environment, Social and Governance (ESG). Saya memuji Kerajaan Sarawak kerana menitikberatkan kelestarian dalam setiap pembangunan yang dirancang selari dengan matlamat konsep dan falsafah Sustainable Development Goals (SDGs); dan Environment, Social and Governance (ESG) ke arah mencapai sasaran menjadi wilayah mampan dan kalis masa hadapan. Ini jelas digariskan dalam Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030). Melalui pembangunan lestari yang menitikberatkan keseimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus, saya yakin Sarawak akan mampu menarik lebih banyak pelaburan dan membuka peluang perniagaan serta pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Sarawak.
Tuan Speaker, dunia kini memberi perhatian serius terhadap isu perubahan iklim dengan komitmen untuk mencapai Sasaran Karbon Sifar (Net Zero) menjelang 2050. Sarawak komited menyokong sasaran negara Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45% pada tahun 2030 seperti yang termaktub dalam Perjanjian Paris 2015.
Saya bangga kerana Kerajaan Sarawak telah menjadi perintis bagi inisiatif peralihan kepada Tenaga Boleh Baharu (TBB) untuk mengurangkan pelepasan karbon. Ini jelas melalui inisiatif pembangunan tenaga hijau seperti tenaga hidro, solar, biomass, biofuel, hidrogen dan Sustainable Aviation Fuel (SAF) serta pelaksanaan inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Usaha Kerajaan Sarawak dalam peralihan tenaga dan perdagangan karbon telah mendapat respon positif daripada pemain industri di peringkat global dan seterusnya akan membuka banyak peluang pelaburan, perniagaan dan pekerjaan baharu di Sarawak.
Tuan Speaker, dalam arus pembangunan masa kini, penggunaan teknologi digital bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan yang mendesak. Aplikasi teknologi digital seperti Artificial Intelligence (AI), Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR) dan Mixed Reality (MR) menjadi tunjang transformasi ekonomi dan sosial serta perubahan gaya hidup di seluruh dunia.
Saya gembira kerana Sarawak kini berada di kedudukan hadapan dalam aspek pembangunan ekonomi digital di Malaysia. Pelaksanaan inisiatif ekonomi digital oleh Kerajaan Sarawak semenjak 2017 telah menunjukkan impak yang positif kepada ekonomi, sosial dan gaya hidup rakyat Sarawak hasil peluasan liputan jalur lebar, peningkatan capaian internet berkelajuan tinggi, pembangunan perusahaan start-ups dan aplikasi e-wallet SPayGlobal.
Usaha Kerajaan Sarawak untuk memperhebatkan agenda ekonomi digital bagi memacu dan memodenkan ekonomi agar Sarawak terus berkembang dan berdaya saing dalam arena antarabangsa amatlah dipuji. Saya menyeru supaya rakyat mengembangkan kemahiran digital yang diperlukan bagi memanfaatkan teknologi secara produktif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi.
Dengan penggunaan teknologi digital yang semakin meluas, saya menyeru agar semua rakyat sentiasa berwaspada dan meningkatkan kesedaran tentang ancaman keselamatan siber. Oleh itu, Kerajaan Sarawak harus mengambil langkah untuk memastikan privasi individu, data dan maklumat sentiasa dilindungi. Dengan itu juga maka ruang lingkup dan perbatasan dari segi undang-undang perlu dikaji dengan teliti untuk keselamatan negeri dan rakyat Sarawak.
Kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier Yang Berwawasan
Tuan Speaker, Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai pemimpin yang prihatin, komited dan berpandangan jauh seperti Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.
Beliau telah banyak membawa pendekatan dan idea-idea baru untuk mempercepat dan mengembangkan ekonomi Sarawak. Ini termasuklah inisiatif ekonomi digital, pembangunan pusat data, tenaga hijau dan tenaga boleh baharu, hidrogen; Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon; ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.
Kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak telah berjaya menjadikan Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi. Syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Premier dan pasukan kepimpinan beliau yang membuktikan Sarawak memperolehi pendapatan yang sangat tinggi sejak beberapa tahun lalu. Sarawak juga kini menjadi pemain global dan sudah dikenali di seluruh pelosok dunia.
Melalui Post COVID-19 Development Strategy 2030 yang merupakan cetusan minda Yang Amat Berhormat Premier Sarawak mempunyai hala tuju pembangunan yang jelas ke arah menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 berteraskan “Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kemampanan Alam Sekitar”.
Kemakmuran Ekonomi
Tuan Speaker, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Premier kerana ekonomi Sarawak terus berkembang dan merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Malaysia selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan melepasi ekonomi Johor. Ini adalah hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif, program dan projek berimpak tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi. Saya yakin dengan adanya pelan pembangunan strategik yang jelas dan inklusif, ekonomi Sarawak akan terus maju dan muncul sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.
Saya bangga, Sarawak telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai sebuah wilayah berpendapatan tinggi. Ini menggambarkan kemakmuran ekonomi yang dicapai hasil daripada pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak. Saya berharap kemakmuran ekonomi ini dapat dikecapi oleh setiap lapisan masyarakat. Oleh itu, usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan isi rumah amatlah bertepatan selaras dengan objektif keterangkuman sosial.
Keterangkuman Sosial
Tuan Speaker, kedudukan geografi Sarawak yang luas merupakan satu cabaran besar dalam pembangunan dan penyediaan perkhidmatan yang cekap kepada rakyat di setiap pelosok wilayah. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membawa pembangunan dan perkhidmatan kepada setiap rakyat walau di mana mereka berada. Saya yakin rancangan pembangunan di bawah Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2023) yang berteraskan keterangkuman sosial, tiada rakyat akan terpinggir dalam arus pembangunan. Projek berimpak tinggi dan bersifat people-centric di bawah Projek Transformasi Luar Bandar dan Projek Rakyat sudah pasti akan meningkatkan taraf hidup dan menjaga kebajikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar. Saya berharap semua pihak boleh memainkan peranan agar agenda ini disokong supaya berupaya mengurangkan jurang pendapat masyarakat bandar dan luar bandar. Saya menyeru kepada semua pihak terlibat memastikan projek-projek dapat dilaksana dan disiapkan demi kepentingan semua lapisan rakyat.
Kemampanan Alam Sekitar
Tuan Speaker, dalam keadaan sumber semula jadi yang semakin terhad dan kesan perubahan iklim, perancangan pembangunan perlu dibuat secara holistik dengan mengambil kira keseimbangan keperluan masa kini dan masa hadapan. Pembangunan Sarawak hendaklah menitikberatkan kelestarian alam sekitar bagi memastikan kelangsungan sumber semula jadi untuk jangka panjang.
Saya gembira kerana Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Antara lain, ini jelas melalui inisiatif pengurusan hutan mampan melalui pewartaan Totally Protected Areas (TPAs) yang merangkumi Taman Negara, Santuari Hidupan Liar dan Rizab Semula jadi.
Dalam usaha untuk memastikan kemampanan alam sekitar juga, langkah Sarawak meluluskan undang-undang berkenaan dengan pelepasan Gas Rumah Hijau iaitu Environment (Reduction of Greenhouse Gases Emission) Ordinance, 2023 adalah bertepatan. Di samping itu, saya bangga kerana Sarawak juga mempelopori pembangunan sistem pengangkutan awam yang dijana oleh tenaga hidrogen hijau yang melepaskan sifar karbon. Saya berharap semua pihak mengambil berat perihal alam sekitar dalam semua aspek perancangan pembangunan di Sarawak.
Kestabilan Politik
Tuan Speaker, kestabilan politik adalah tonggak kepada kesinambungan perancangan dan pembangunan ekonomi Sarawak serta menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Politik yang stabil sangat penting dalam usaha kita untuk menarik pelaburan asing sebagai pemangkin ekonomi Sarawak.
Sarawak bertuah kerana mempunyai barisan kepimpinan yang sentiasa mengutamakan agenda pembangunan walaupun mempunyai kepelbagaian latar belakang dan fahaman politik. Kita memerlukan Kerajaan Sarawak yang kukuh untuk memastikan kestabilan politik bagi menjamin kesejahteraan rakyat di samping memantapkan prestasi ekonomi Sarawak dalam jangka masa panjang.
Saya menyeru semua pihak agar terus bekerjasama, berganding bahu dan bersatu hati untuk mengekalkan kestabilan politik demi keharmonian Sarawak dan kepentingan rakyat. Kejayaan dan kemajuan yang kita nikmati selama ini adalah hasil daripada toleransi politik antara pelbagai pihak berserta inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan. Kestabilan politik akan terus menjadi tunjang kepada kita untuk maju dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Perkhidmatan Awam Kerajaan Sarawak
Tuan Speaker, Perkhidmatan Awam adalah nadi penggerak kepada agenda pembangunan Sarawak bagi mencapai visi menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030. Dalam masa yang sama, perkhidmatan awam merupakan jentera kerajaan yang berperanan menyediakan perkhidmatan dan melaksanakan projek-projek untuk manfaat rakyat Sarawak.
Saya menyeru semua penjawat awam Sarawak supaya terus memberikan perkhidmatan yang cekap dan efisien kepada rakyat. Dalam proses penyampaian perkhidmatan, kita harus mengamal prinsip kerja berintegriti dan profesional supaya penyampaian perkhidmatan dilakukan secara telus dan inklusif.
Perpaduan dan Keharmonian
Tuan Speaker, Sarawak terkenal di seluruh Malaysia sebagai model “Perpaduan Dalam Kepelbagaian” dengan rakyatnya hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni. Perpaduan merupakan tonggak keharmonian dan kekukuhan ekonomi Sarawak.
Janganlah kita lupa, perpaduan kukuh dan keharmonian yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil toleransi dan sikap saling menghormati antara rakyat Sarawak yang berbilang kaum, agama dan latar belakang budaya.
Saya menyeru semua pihak untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian di Sarawak. Kita haruslah menghormati antara satu sama lain dan elakkanlah daripada menyentuh perkara berkaitan sensitiviti agama, kaum dan budaya masing-masing.
Hubungan Akrab Sarawak dan Persekutuan
Tuan Speaker, hubungan akrab antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan merupakan satu ramuan pembangunan yang sangat penting. Dalam usaha kita untuk memajukan Sarawak, kerjasama rapat antara Sarawak dan Putrajaya sangat penting, khususnya bagi memastikan keselarasan dasar dan polisi pembangunan demi kepentingan Sarawak.
Sarawak memerlukan jumlah peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan. Dalam hal ini, saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan akan terus menyediakan peruntukan pembangunan yang secukupnya selaras dengan hak dan status Sarawak sebagai sebuah wilayah.
Pengembalian hak-hak Sarawak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah perkara yang sangat dekat di hati saya. Saya menyeru Kerajaan Sarawak untuk terus menuntut hak-hak yang terhakis supaya dikembalikan semula kepada Sarawak dan yang belum dilaksanakan seperti yang dijanjikan di dalam Perjanjian Malaysia tersebut dilaksanakan segera selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia itu sendiri, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
Kita amat menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang telah membentuk Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia dan Jawatankuasa Teknikal sebagai platform untuk membincangkan tuntutan Sarawak.
Saya yakin, dengan kerjasama rapat dan keakraban Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, semua hak dan tuntutan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia dapat direalisasikan.
Sokongan Kerajaan Persekutuan untuk Meneruskan Pembangunan di Sarawak
Tuan Speaker, dalam usaha untuk meneruskan pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur Sarawak, kita memerlukan komitmen Kerajaan Persekutuan yang berterusan. Ini khususnya dalam aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pembangunan sempadan dan jaringan jalan raya utama.
Saya memuji komitmen tinggi Kerajaan Sarawak untuk menyediakan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk rakyat Sarawak. Saya gembira kerana Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan pendekatan Kerajaan Sarawak untuk membina dan membiayai terlebih dahulu projek-projek pendidikan dan kesihatan, dan akan dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan. Melalui pendekatan ini, pembangunan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak dapat dipercepatkan.
Pembangunan keselamatan sempadan adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan. Ini termasuklah pembinaan dan naik taraf kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta pos-pos kawalan sempadan di antara Sarawak dengan negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia. Kemudahan ini sangat penting bagi menjamin keselamatan negara serta memudahkan kawalan pergerakan barangan dan pelawat bagi mengoptimumkan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Sarawak juga memerlukan sokongan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan infrastruktur seperti jaringan jalan raya utama, projek tebatan banjir, kawalan hakisan sungai dan pantai serta kemudahan telekomunikasi, bekalan air dan elektrik.
Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan terus komited dalam melaksanakan projek pembangunan infrastruktur asas di Sarawak bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi.
Sarawak Tuan Rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 2024
Tuan Speaker, saya berbesar hati kerana Sarawak telah diberi penghormatan untuk menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 pada tahun ini. Saya yakin Sarawak mampu menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi temasya sukan terbesar di Malaysia ini.
SUKMA adalah medan pembangunan bakat muda dalam pelbagai acara sukan. Inilah peluang untuk anak-anak Sarawak mempamerkan potensi, bakat dan kecemerlangan dalam sukan.
Saya berharap melalui SUKMA kali ini, atlet kita dapat mempamerkan prestasi cemerlang untuk mengharumkan nama Sarawak. Kepada kontinjen Sarawak, berjuanglah dengan semangat kesukanan yang tinggi dan buktikanlah bakat anak Sarawak di peringkat kebangsaan dan seterusnya peringkat antarabangsa.
Saya juga menyeru kepada semua pihak yang terlibat untuk bekerjasama dan berganding bahu bagi memastikan penganjuran SUKMA ini berjalan dengan jayanya.
Penutup
Tuan Speaker, masa depan Sarawak adalah terletak di tangan semua, khususnya Ahli-ahli Yang Berhormat yang merupakan penggubal dasar dan undang-undang. Saya menyeru agar Ahli-ahli Yang Berhormat pada persidangan kali ini untuk berbahas secara berhemah dan produktif bertunjangkan kepada pembangunan sosioekonomi rakyat dan masa depan Sarawak.
Tuan Speaker, kita masih di bulan Syawal. Dengan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat yang beragama Islam.
Tidak lama lagi, kita akan menyambut Hari Gawai Dayak. Kepada masyarakat Dayak, saya ucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua.
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
[Bacaan Doa oleh Sahibul Fadilah, Imam Besar Negeri Sarawak]
Penangguhan MesyuaratAdjournment
Sidang Dewan yang dihormati sekalian. Bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ucapan dan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Yang Kesembilan Belas pada pagi ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sesi bergambar untuk semua Ahli Yang Berhormat bersama-sama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan diadakan di anjung hadapan bangunan sejurus selepas majlis jamuan tengah hari.
Dewan akan bersidang semula pada pukul 9.00 pagi, esok pagi, Selasa 7 Mei 2024.
[Keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi meninggalkan Dewan Mesyuarat]
(Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 11.30 pagi)
LAPORAN/ PENYATA KEWANGAN, ‘COMMAND PAPERS’, ‘HANSARD’ DAN ‘VOTES AND PROCEEDINGS’ YANG DIBENTANG PADA 06 MEI 2024
Premier Sarawak
1/2024 The Board of Trustees of Yayasan Sarawak – Financial Statement for the year ended 31st December 2022 2/2024 Yayasan Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman – Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 3/2024 Regional Corridor Development Authority (RECODA) – Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 4/2024 Penyata Terimaan dan Bayaran Kumpulan Wang Amanah Kerajaan Front End-Engineering Trust Fund bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 5/2024 Bintulu Development Authority (BDA) – Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 6/2024 Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) – Financial Statement for the year ended 31st December 2022 7/2024 Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak bagi tahun 2022 8/2024 Pustaka Negeri Sarawak – Laporan Tahunan 2022 9/2024 Pustaka Negeri Sarawak – Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022
Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baru
10/2024 Second Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2023 (Cmd. 1 of 2024) 11/2024 Memorandum on the Second Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2023 (Cmd. 2 of 2024) 12/2024 Second Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2023 (Cmd. 3 of 2024) 13/2024 Memorandum on the Second Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2023 (Cmd. 4 of 2024) 14/2024 First Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2024 (Cmd. 5 of 2024) 15/2024 Memorandum on the First Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2024 (Cmd. 6 of 2024) 16/2024 Laporan Ketua Audit Negara Negeri Sarawak Tahun 2022: Aktiviti Kementerian/ Jabatan/ Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Sarawak 17/2024 Laporan Ketua Audit Negara Negeri Sarawak Tahun 2022: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi serta Pengauditan Pematuhan Jabatan/ Agensi Negeri 18/2024 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sarawak 2022
Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan
19/2024 Penyata Terimaan dan Bayaran Kumpulan Wang Amanah Kerajaan Unallocated Stores Trust Fund bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 20/2024 Audited Statement of Accounts for Kuching Port Authority for the year ended 31st December 2022 21/2024 Audited Statement of Accounts for Rajang Port Authority for the year ended 31st December 2022 22/2024 Audited Statement of Accounts for Miri Port Authority for the year ended 31st December 2022 23/2024 Audited Statement of Accounts for Tanjung Manis Port Authority for the year ended 31st December 2022 24/2024 Audited Statement of Accounts for Samalaju Port Authority for the year ended 31st December 2022 25/2024 Penyata Kewangan Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke bagi tahun berakhir 31 Disember 2022
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
26/2024 Laporan Penyata Terimaan dan Bayaran Kumpulan Wang Amanah Housing Loan Trust Account for Low Income Group bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 27/2024 Laporan Penyata Terimaan dan Bayaran Kumpulan Wang Amanah Longhouse Loan for Low Income Group Trust Fund bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 28/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Bandaraya Miri 29/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Perbandaran Sibu 30/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Perbandaran Padawan 31/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Bau 32/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Lundu 33/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Perbandaran Kota Samarahan 34/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Serian 35/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Simunjan 36/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Sri Aman 37/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Lubuk Antu 38/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Betong 39/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Saratok 40/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Luar Bandar Sibu 41/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Kanowit 42/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Dalat dan Mukah 43/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Marudi 44/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Subis 45/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Limbang 46/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Lawas 47/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Sarikei 48/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Maradong dan Julau 49/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Matu dan Daro 50/2024 Laporan Penyata Kewangan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 – Majlis Daerah Kapit
Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan
51/2024 Penyata Kewangan Perbadanan Sukan Sarawak bagi tahun berakhir 31 Disember 2022
Menteri Pengangkutan
52/2024 Penyata Terimaan dan Bayaran Akaun Amanah Dana Boya dan Api Sarawak bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 53/2024 Lembaga Sungai-sungai Sarawak – Laporan Tahunan 2022 dan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi
54/2024 Kuching Water Board – Annual Report 2022 55/2024 Sibu Water Board – Annual Report 2022
Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat
56/2024 Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) – Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022
Dewan Undangan Negeri Sarawak
57/2024 Penyata Rasmi Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas (20 – 29 November 2023) 58/2024 Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat (Votes and Proceedings) Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas (20 – 29 November 2023) 59/2024 Pertanyaan-pertanyaan Bukan Lisan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas (20 – 29 November 2023)