Sarawak · 19 May 2025

19th Assembly, 4th session, 1st meeting (unedited) · not final · 15 turns · 3,940 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSarawak publishes only unedited transcripts (Belum Disunting). The 19th Assembly was dissolved on 26 Oct 2026. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Tuan Speaker

Bismillahriahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Selamat pagi dan Salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, dif-dif kenamaan, tuan-tuan dan puan-puan. Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, maka kita dapat berjumpa di Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-19. Saya mengucapkan selamat datang dan terima kasih atas kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat ke persidangan kali ini dan kepada semua yang hadir pada hari ini.

Persidangan kita akan berlangsung selama lapan (8) hari, mulai hari ini, Isnin 19 hingga 28 Mei 2025 kecuali Sabtu, 24 Mei 2025 dan Ahad, 25 Mei 2025. Semoga kita dapat bersidang dalam suasana yang muhibah dan penuh tatatertib.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Ahli Dewan Undang Negeri N. 26 Gedong atas pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang baharu pada Sabtu, 10 Mei 2025 yang lepas. Semoga Yang Amat Berhormat Premier akan terus memberi khidmat bakti yang cemerlang dan gemilang kepada PERKIM.

Ahli-ahli Yang berhormat dan sidang Dewan sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dato Haji Ibrahim bin Haji Baki, Ahli Yang Berhormat bagi N.8 Satok atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), pada 17 Mei 2025 yang lepas.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri yang telah meninggal dunia pada 14 April 2025 dan keluarga mendiang Datuk Amar Dominic Andrew Dago anak Randan, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Ulu Sadong yang telah meninggal dunia pada 15 Mei 2025. Bagi menghormati Allahyarham dan mendiang, marilah kita sama-sama berdiri dan menghadiahkan Al-fatihah untuk Allahyarham Tun dan bertafakur selama seminit.

(Bertafakur selama satu minit)

Ahli-ahli Yang Berhormat, I have granted leave of absence under Standing Order 81 to Yang Berhormat Datuk Snowdan Lawan, Deputy Minister for Creative Industry and Performing Arts Sarawak and Honourable Member for N3.0 Balai Ringin for today’s sitting until 23rd May 2025.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan yang dihormati sekalian, sukacita saya memaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan hadir untuk menyampaikan ucapan kepada sidang Dewan pada pagi ini. Dengan itu, saya menangguhkan mesyuarat Dewan sebentar untuk membolehkan saya mengiringi keberangkatan masuk Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi ke dalam Dewan.

(Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 10.25 pagi)

[Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi, diiringi oleh Tuan Speaker, Timbalan Speaker, Setiausaha Dewan, Timbalan Setiausaha Dewan dan Bentara Mesyuarat masuk ke Dewan Mesyuarat]

(Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.34 pagi)

Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar

Tuan Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Premier, Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan. Alhamdullilah, kita bersyukur kerana dapat bersama lagi pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas pada hari ini. Saya berharap sesi persidangan ini berlangsung dalam suasana tertib, berhemah dan dengan semangat penuh harmoni untuk membawa Sarawak ke arah kemajuan dan pembangunan yang lebih inklusif, berdaya saing dan mampan.

Ucapan Takziah kepada Keluarga Mantan Perdana Menteri Yang Kelima

Tuan Speaker, sebelum saya meneruskan ucapan pembukaan ini, ingin saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia yang Ke-5 yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 April 2025 bersamaan dengan 15 Syawal 1446 Hijrah. Marilah kita sama-sama doakan semoga roh Almarhum dicucuri Rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan pemimpin yang berfikiran jauh dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat. Semasa kepimpinan Almarhum, lima koridor pembangunan ekonomi di Malaysia telah dilancarkan. Salah satu daripadanya adalah Sarawak Corridor of Renewable Energy atau SCORE pada 11 Februari 2008.

Penubuhan SCORE telah berjaya menarik banyak pelaburan asing dan domestik, khususnya di Taman Perindustrian Samalaju yang menyediakan banyak peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat Sarawak. Sesungguhnya pemergian Almarhum merupakan kehilangan besar kepada rakyat Malaysia. Sumbangan Almarhum kepada pembangunan negara dan Sarawak khasnya amatlah tidak ternilai dan akan sentiasa kita kenang.

Ucapan Tahniah atas Pelantikan sebagai Timbalan Menteri Utiliti

Tuan Speaker, pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri bagi N.8 Satok di atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Utiliti yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS). Saya yakin dengan latar belakang dan pengalaman yang luas, beliau akan menjalankan amanah ini dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Saya percaya pelantikan ini merupakan langkah strategik Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier untuk menangani cabaran semasa di peringkat tempatan, nasional dan global.

Isu dan Cabaran Semasa

Tuan Speaker, ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik geopolitik, revolusi teknologi, perubahan iklim, dan baru-baru ini perang tarif global sudah tentu memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak. Oleh itu, saya merayu agar kita sentiasa bersedia untuk memperkukuh daya tahan ekonomi Sarawak.

Langkah proaktif yang diambil oleh Yang Amat Berhormat Premier amatlah dipuji. Usaha beliau untuk terus meneroka dan mempelbagaikan peluang ekonomi dalam bidang strategik seperti tenaga hijau, teknologi digital dan inovasi bukan hanya memenuhi keperluan domestik tetapi juga memainkan peranan penting di peringkat nasional dan global.

Syabas kepada Yang Amat Berhormat Premier kerana telah mencapai banyak kejayaan semasa lawatan kerja beliau ke Eropah baru-baru ini. Saya percaya kejayaan ini adalah hasil kerjasama strategik yang dirangka dengan teliti susulan daripada kunjungan hormat dan perbincangan beliau bersama Duta-duta dan syarikat daripada Eropah.

Antara kejayaan beliau yang membanggakan kita adalah terjalin kerjasama strategik Sarawak dengan United Kingdom dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembuatan, semikonduktor dan tenaga. Pencapaian Kerajaan Sarawak lancar AI (Artificial Intelligence Based Power Converter di United Kingdon baru-baru ini mencerminkan keupayaan anak-anak Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.

Beliau juga telah berjaya meningkatkan kerjasama strategik bagi meneroka potensi menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa baharu di Rantau Asia Pasifik hasil lawatan kerja beliau ke ibu pejabat Avions de Transport Regional (Regional Transport Aircraft (ART)) dan Airbus di Toulouse, Perancis.

Saya yakin, usaha ini akan mengurangkan kebergantungan kita terhadap sumber semula jadi, mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan meningkatkan nilai tambah serta membuka ruang pertumbuhan ekonomi baharu yang mampan dan inklusif selaras dengan aspirasi Strategik Pembangunan Pasca Covid-19 2030.

Tuan Speaker, seiring dengan pembangunan semasa, usaha Kerajaan Sarawak membangunkan sumber Tenaga Boleh Baharu amatlah bertepatan. Ini bukan hanya sebagai langkah menangani kesan perubahan iklim malah mampu menjadikan Sarawak sebagai, “The Battery of ASEAN”. Ianya juga menyokong usaha ASEAN Power Grid untuk membekalkan tenaga bersih di rantau ini.

Saya berbangga dengan pencapaian penting Kerajaan Sarawak dalam peralihan tenaga hijau berasaskan sumber gas asli. Antaranya, Sarawak Petchem telah berjaya mengeksport methanol pertama ke negara China pada awal tahun ini. Kejayaan ini diteruskan dengan pelancaran Projek Methanol Hijau bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran bahan api rendah karbon secara mampan.

Saya juga gembira kerana Sarawak kini memulakan langkah pengurusan sisa buangan yang merangkumi penjanaan tenaga atau dikenali sebagai waste to energy. Saya yakin usaha ini akan meningkatkan pengurusan sisa yang lebih mampan dan menjana pendapatan kepada Sarawak.

Pembangunan Modal Insan dan Pendidikan

Tuan Speaker, evolusi teknologi yang pesat berkembang ini memerlukan modal insan yang berkemahiran, fleksibel dan responsif terhadap perubahan dalam keperluan industri. Oleh itu, saya amat menghargai kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan ketersediaan modal insan di semua peringkat. Penubuhan beberapa sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan tinggi milik Kerajaan Sarawak berasaskan teknikal dan vokasional amatlah bertepatan dengan kehendak industri.

Inisiatif Kerajaan Sarawak yang turut menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak Sarawak, yang menuntut di universiti dan institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak, dalam bidang terpilih mulai tahun hadapan telah banyak memberi manfaat kepada anak Sarawak. Untuk memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan Sarawak, saya menyeru agar kerjasama yang lebih strategik dilaksanakan antara institusi pendidikan tinggi dan pihak industri. Ini penting agar pembangunan bakat modal insan dapat digarapkan secara menyeluruh dan relevan dengan keperluan semasa.

Pembangunan Infrastruktur

Tuan Speaker, komitmen Kerajaan Sarawak dalam membangunkan projek infrastruktur asas bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar amatlah dihargai. Projek infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air bersih serta telekomunikasi terus diperluaskan ke kawasan luar bandar bagi membuka potensi ekonomi untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Pada tahun ini, kita telah menyaksikan kejayaan Kerajaan Sarawak menyiapkan beberapa jambatan utama untuk memastikan perjalanan yang lancar antara bandar dan luar bandar. Syabas saya ucapkan kepada Kerajaan Sarawak atas kejayaan menyiapkan Jambatan Marudi, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Bintulu-Jepak dan Jambatan Batang Rajang yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat kita.

Dengan adanya prasarana yang lengkap, saya yakin produktiviti masyarakat luar bandar dapat ditingkatkan, sekaligus memperkasa sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana.

Ekonomi dan Peluang Pelaburan

Tuan Speaker, Sarawak semakin menyerlah dengan pencapaian yang cemerlang sebagai sebuah wilayah yang progresif di Malaysia dari segi kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas dan berpandangan jauh serta pengurusan fiskal yang berhemah. Di peringkat antarabangsa, Sarawak kini semakin dikenali dan mendapat perhatian sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini khususnya dalam bidang ekonomi baharu.

Saya menyokong usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dengan memanfaatkan kelebihan daya saing dan kedudukan strategik Sarawak. Ini termasuk memperkukuhkan ekosistem pelaburan melalui penambahbaikan infrastruktur asas dan perkhidmatan logistik di Sarawak. Cadangan pembinaan pelabuhan dan lapangan terbang baharu amatlah bertepatan dengan keperluan menjadikan Sarawak sebagai hab logistik serantau.

Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Sarawak kerana telah mengambil alih Bintulu Port Authority dan syarikat penerbangan MASwings sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak dan menubuhkan AirBorneo. Langkah strategik ini sudah pasti memperkukuhkan lagi usaha Sarawak sebagai hab logistik serantau yang mampu meningkatkan ekonomi Sarawak dalam bidang perdagangan, perindustrian dan pelancongan.

Saya menyeru agar pihak swasta untuk terlibat sama secara aktif dan menyumbang dalam usaha kerajaan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi ini. Rakyat juga harus bersedia untuk merebut peluang pekerjaan dan perniagaan yang bakal dijana daripada program dan projek ini.

Hubungan Sarawak – Persekutuan

Tuan Speaker, saya bersyukur kerana hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak amat akrab. Banyak perkara yang telah kita selesai khususnya yang melibatkan hak dan kepentingan Sarawak. Saya yakin hubungan akrab ini juga akan memastikan Sarawak mendapat semua tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Inter-Governmental Committee (IGC), Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak.

Saya berharap agar semua tuntutan Sarawak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan segera agar ianya memberi manfaat kepada Sarawak dan negara. Saya juga menyeru agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pembangunan ekonomi, sosial dan keselamatan Sarawak.

Keikhlasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melalui prinsip Malaysia MADANI, sudah pasti akan memberi impak yang positif kepada usaha menyemai semangat Segulai Sejalai ke arah pembangunan yang inklusif kepada Sarawak.

PETROS sebagai Gas Aggregator Tunggal di Sarawak

Tuan Speaker, saya bersyukur kerana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan langkah Kerajaan Sarawak untuk melantik PETROS sebagai gas aggregator tunggal di Sarawak, yang dibuat di bawah Distribution of Gas Ordinance, 2016, yang mana Kerajaan Sarawak mempunyai kuasa eksekutif dan legislatif untuk menggubal undang-undang mengenai elektrik dan pengedaran gas.

Ini adalah selaras dengan rekomendasi daripada Inter-Governmental Committee (IGC) Report 1962 yang telah dilaksanakan melalui Borneo States (Legislative Power) Order, 1963 yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan. Hak perlembagaan ini haruslah dihormati untuk membolehkan PETROS melaksanakan peranannya sebagai gas aggregator bagi memastikan pembangunan industri gas di Sarawak terus menyumbang kepada ekonomi Sarawak dan negara.

Saya berharap kerjasama PETROS dan PETRONAS dapat dimuktamadkan dengan segera kerana ia pasti akan membawa banyak kebaikan dalam pembangunan rantaian industri minyak dan gas di Sarawak untuk kemakmuran bersama.

Kestabilan Politik dan Kepimpinan Berwawasan

Tuan Speaker, kestabilan politik merupakan syarat utama kepada pembangunan yang mampan. Saya gembira keadaan politik negara kita, khususnya Sarawak berada di dalam keadaan yang stabil. Keadaan ini menjamin pembangunan yang berterusan dan memberi keyakinan kepada pelabur untuk menanam modal mereka di Sarawak.

Saya amat bersukacita kerana Sarawak kukuh di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier sehingga membolehkan Kerajaan Sarawak menggubal dan melaksanakan dasar yang progresif, berwawasan dan berpaksikan kepentingan rakyat. Kemakmuran sosioekonomi yang kita nikmati ini haruslah kita pelihara dengan mengekalkan kekuatan dan kestabilan politik yang kita miliki.

Oleh itu, saya menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan anasir yang boleh menganggu-gugat kestabilan politik dan wawasan Sarawak ke arah ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Kesejahteraan Hidup Rakyat

Tuan Speaker, bagi berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, saya bersyukur kerana Kerajaan Sarawak prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang terkesan. Banyak bantuan telah disalur kepada rakyat yang memerlukan seperti bantuan kebajikan, bantuan subsidi perumahan, bantuan kesihatan dan pendidikan serta bantuan keusahawanan bagi menjana pendapatan.

Saya mengucapkan syabas kepada Kerajaan Sarawak kerana telah menyediakan satu lagi inisiatif bermakna kepada rakyat yang memerlukan iaitu Sumbangan Keperluan Asas Sarawak ataupun SKAS. SKAS telah memberi impak besar kepada rakyat yang memerlukan kerana ia telah membantu mereka membeli barangan keperluan asas makanan, sekaligus mengurangkan beban mereka akibat kenaikan kos sara hidup.

Perpaduan dan Keharmonian Sosial

Tuan Speaker, Sarawak sentiasa menjadi contoh dalam memelihara dan memperkukuhkan perpaduan serta keharmonian sosial. Di wilayah yang kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik dan agama ini, Kerajaan Sarawak telah membuktikan bahawa kesatuan dalam kepelbagaian merupakan asas kepada kestabilan dan kemajuan Sarawak.

Saya berpesan agar rakyat terus memelihara dan mengekalkan perpaduan serta keharmonian di Sarawak. Kita haruslah menghormati antara satu sama lain dan elak daripada menyentuh perkara berkaitan sensitiviti agama, kaum dan budaya masing-masing.

Pembangunan Belia, Sukan dan Persiapan Sukan SEA 2027

Tuan Speaker, pada bulan Ogos tahun lepas, kita telah menyaksikan kejayaan Kerajaan Sarawak dalam menganjurkan Sukan Malaysia, SUKMA yang Ke-21 dan keupayaan kejayaan pasukan Sarawak menjuarai temasya tersebut.

Tahniah dan syabas kepada Kerajaan Sarawak, atlet-atlet, jurulatih dan semua pihak yang telah berjaya merealisasikan pencapaian ini. Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan bakat anak Sarawak, tetapi juga kemampuan kita menganjurkan acara sukan bertaraf kebangsaan dengan begitu cemerlang.

Dengan semangat kejayaan yang kita raih dalam penganjuran SUKMA, saya yakin Sarawak kini bersedia untuk menganjurkan satu lagi acara sukan yang lebih besar, iaitu Sukan Asia Tenggara 2027, di mana Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi beberapa acara sukan.

Saya menyeru agar semua lapisan masyarakat termasuk kerajaan, sektor swasta, dan rakyat Sarawak, untuk bersama-sama membuat persiapan awal dan mengorak langkah yang mantap dalam menjayakan acara ini dengan penuh cemerlang. Rancangan Malaysia Lima Tahun

Tuan Speaker, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan program dan projek yang telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dengan jayanya. Syabas kepada Kerajaan Sarawak kerana program dan projek ini telah membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

Tahun ini merupakan tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 dan persiapan untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030). Saya yakin pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan bermula pada tahun hadapan akan terus meningkatkan pembangunan sosioekonomi rakyat ke arah Sarawak Maju Makmur 2030.

Peranan dan Pengiktirafan Sumbangan Anggota Perkhidmatan Awam

Tuan Speaker, peranan dan sumbangan anggota Perkhidmatan Awam adalah sangat penting dalam memastikan dasar dan agenda pembangunan dilaksanakan dengan cekap berkesan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, langkah Kerajaan Sarawak untuk menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dan memberi elaun khas bulanan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak amatlah bertepatan.

Kerajaan Sarawak terus menyedia dan menambahbaik tempat kerja dan kuarters kediaman yang lebih selesa kepada kakitangan awam yang bertugas di seluruh Sarawak untuk meningkatkan produktiviti anggota Perkhidmatan Awam.

Tuan Speaker, sesi persidangan ini merupakan medan Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai penggubal dasar dan undang-undang untuk berbahas bagi membentuk Sarawak yang lebih gemilang. Saya menyeru agar Ahli-ahli Yang Berhormat berbahas secara berhemah, konstruktif dan bertanggungjawab berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara.

Kepada semua, saya ingin berpesan bahawa pelan dan perancangan yang ada sekarang ini menghala kepada pembangunan modal insan yang berilmuan dan bijak kerana sejarah negara telah menunjukkan yang mampu melonjak cepat pada dekad-dekad akhir ini ialah negara-negara yang embrace meritocracy, di mana kelulusan dan ilmu sahaja belum cukup untuk menyahut cabaran semasa jika tidak dilandaskan dengan komitmen yang tinggi, sense of ownership, belonging dan tugas dan tanggungjawab masing-masing and the sense of urgency kepada apa keperluan yang hendak dilaksanakan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai kepada semua masyarakat Dayak. Dan saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada muslimin dan muslimat di mana jua berada. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas. Sekian, terima kasih.

[Bacaan Doa oleh Sahibul Fadilah, Imam Besar Negeri Sarawak]

Tuan Speaker

Sidang Dewan yang dihormati sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ucapan dan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kesembilan Belas pada pagi ini.

Ahli-ahli Yang Berhormat, sesi bergambar untuk semua Ahli-ahli Yang Berhormat bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri akan diadakan di anjung hadapan bangunan ini sejurus selepas Majlis Jamuan Tengah Hari. Dewan akan bersidang semula pada pukul 9.00 pagi, pada esok hari, Selasa, 20 Mei 2025. [Keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi meninggalkan Dewan Mesyuarat]

(Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 11.13 pagi)

LAPORAN TAHUNAN, PENYATA KEWANGAN, ‘COMMAND PAPERS’, ‘HANSARD’, ‘VOTES AND PROCEEDINGS’ DAN PERTANYAAN-PERTANYAAN BUKAN LISAN YANG DIBENTANG PADA 19 MEI 2025

Premier Sarawak

Tuan Speaker

01/2025 Front-End Engineering Trust Fund - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 02/2025 Pustaka Negeri Sarawak – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 03/2025 Pustaka Negeri Sarawak – Laporan Tahunan Bagi Tahun 2023 04/2025 Yayasan Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 05/2025 Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) Bagi Tahun 2023 06/2025 Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 07/2025 Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 08/2025 Lembaga Amanah Yayasan Sarawak – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 09/2025 Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) – Annual Report 2023

Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baru

Tuan Speaker

10/2025 Third Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2024 (Cmd. 1 of 2025) 11/2025 Memorandum on the Third Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2024 (Cmd. 2 of 2025) 12/2025 Second Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2024 (Cmd. 3 of 2025) 13/2025 Memorandum on the Second Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2024 (Cmd. 4 of 2025) 14/2025 First Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2025 (Cmd. 5 of 2025) 15/2025 Memorandum on the First Supplementary Estimates of Ordinary Expenditure for the year 2025 (Cmd. 6 of 2025) 16/2025 First Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2025 (Cmd. 7 of 2025) 17/2025 Memorandum on the First Supplementary Estimates of Development Expenditure for the year 2025 (Cmd. 8 of 2025) 18/2025 Sarawak Multimedia Authority (SMA) - Audited Financial Statements for Year Ended 31st Disember 2023 19/2025 The Financial Procedure (Contigencies and Trust Funds) (Amendment to Schedule) (No.2 & No.3) Direction 2024 20/2025 Sarawak Sovereign Wealth Future Fund – Annual Report 2024 21/2025

Sarawak Sovereign Wealth Future Fund Board – Reports and Financial Statements For The Financial Period From 27th July 2023 To 31st December 22/2025 Sarawak Sovereign Wealth Future Fund – Reports and Financial Statements For The Financial Period From 27th July 2023 To 31st December 2024 23/2025 Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 24/2025 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sarawak 2023

Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar

Tuan Speaker

25/2025 Sarawak Forestry Corporation (SFC) - Annual Report 2023 26/2025 Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 27/2025 Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 28/2025 Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar

Tuan Speaker

29/2025 Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan

Tuan Speaker

30/2025 Audited Statement of Receipt and Payment of Unallocated Stores Trust Fund Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 31/2025 Audited Statement of Account for Kuching Port Authority Group for The Year Ended 31st December 2023 32/2025 Perbadanan Urusan Kejuruteraan Dan Limbungan Brooke - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 33/2025 Miri Port Authority Annual Report 2023 34/2025 Samalaju Port Authority Annual Report 2023 35/2025 Laporan Tahunan Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis 2023 36/2025 Rajang Port Authority Annual Report 2023

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

Tuan Speaker

37/2025 Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 38/2025 Housing Development Corporation (HDC) - 2025 Budget Summary 39/2025 Majlis Bandaraya Miri - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 40/2025 Majlis Perbandaran Sibu - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 41/2025 Majlis Perbandaran Padawan - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 42/2025 Majlis Perbandaran Kota Samarahan - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 43/2025 Majlis Daerah Bau - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 44/2025 Majlis Daerah Lundu - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 45/2025 Majlis Daerah Serian - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 46/2025 Majlis Daerah Simunjan - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 47/2025 Majlis Daerah Sri Aman - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 48/2025 Majlis Daerah Lubok Antu - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 49/2025 Majlis Daerah Betong - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 50/2025 Majlis Daerah Saratok - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 51/2025 Majlis Daerah Luar Bandar Sibu - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 52/2025 Majlis Daerah Kanowit - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 53/2025 Majlis Daerah Dalat dan Mukah - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 54/2025 Majlis Daerah Marudi - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 55/2025 Majlis Daerah Subis - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 56/2025 Majlis Daerah Limbang - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 57/2025 Majlis Daerah Lawas - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 58/2025 Majlis Daerah Sarikei - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 59/2025 Majlis Daerah Maradong dan Julau - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 60/2025 Majlis Daerah Matu dan Daro - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 61/2025 Majlis Daerah Kapit - Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 62/2025 Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) – Penyata Kewangan dan Laporan Audit Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah

Tuan Speaker

63/2025 Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan

Tuan Speaker

64/2025 Sarawak Heritage Trust Fund – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

Menteri Pengangkutan

Tuan Speaker

65/2025 PTB Tabung Amanah Bendungan Sungai Sarawak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 66/2025 Dana Boya dan Api – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 67/2025 Lembaga Sungai-Sungai Sarawak – Annual Report 2023

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi

Tuan Speaker

68/2025 Lembaga Air Kuching – Laporan Tahunan 2023 69/2025 Lembaga Air Sibu – Laporan Tahunan 2023

Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat

Tuan Speaker

70/2025 Sarawak Biodiversity Council’s - Annual Report and Audited Financial Statement for the year ended 31st December 2023 71/2025 Sarawak Research and Development Council (SRDC) – Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

Dewan Undangan Negeri Sarawak

Tuan Speaker

72/2025

Penyata Rasmi Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas 73/2025

Undi-Undi Dan Perjalanan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas 74/2025

Pertanyaan-Pertanyaan Bukan Lisan Dewan Undangan Negeri Sarawak Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas