Sarawak · 11 May 2026

19th Assembly, 5th session, 1st meeting (unedited) · not final · 3 turns · 3,463 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSarawak publishes only unedited transcripts (Belum Disunting). The 19th Assembly was dissolved on 26 Oct 2026. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Tuan Speaker

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum W.B.T. Selamat pagi dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, dif-dif kenamaan, tuan-tuan dan puan-puan. Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, maka kita dapat berjumpa lagi di Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-19. Saya mengucapkan selamat datang dan terima kasih atas kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat ke persidangan pada kali ini dan kepada semua yang hadir pada hari ini.

Persidangan kita akan berlangsung selama lapan hari, mulai hari ini, Isnin, 11 hingga 20 Mei 2026 kecuali Sabtu, 16 Mei 2026 dan Ahad, 17 Mei 2026. Semoga kita dapat bersidang dalam suasana yang muhibah dan penuh tatatertib.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, Dewan yang mulia ini, ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar yang telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Universiti Tun Abdul Razak sempena Istiadat Konvensyen UNIRAZAK ke-24 pada 13 Disember 2025… (Applause)…

Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi N.26 Gedong atas pelantikan semula sebagai Pro-Chancellor Universiti Malaysia Sarawak, (UNIMAS) pada 15 Mac 2026 yang lepas… (Applause)... Semoga Yang Amat Berhormat Premier akan terus memberi khidmat bakti yang cemerlang dan gemilang kepada UNIMAS.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya amat mengalu-alukan kehadiran dan mengucapkan selamat datang serta jutaan terima kasih atas kesudian hadir ke Istiadat Pembukaan Perasmian DUN Sarawak hari ini kepada Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Kadzim bin Haji Mohamad Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan isteri, Yang Berbahagia Datin Seri Panglima Hajah Noraini binti Haji Salleh. Yang Berhormat Datuk Haji Al-Hambra bin Tun Haji Juhar, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, dan isteri, Yang Berbahagia Datin Scarlett Suhaili Sambinding, dan ahli rombongan DUN Sabah.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berusaha Tuan Nur Azhar bin Bujang atas pelantikan semula sebagai Setiausaha Dewan Negeri Sarawak ...(Applause)... pada 30 Mac 2026 yang lepas. Selamat maju jaya dalam menjalankan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas dan berdedikasi di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Ahli-ahli Yang Berhormat, I have granted a leave of absence under Standing Order 81 to Yang Berhormat Datuk Francis Harden anak Hollis, Deputy Minister for Education, Innovation and Talent Development (Talent Development), and the Honourable Member for N.32 Simanggang for today’s sitting. Yang Berhormat Dato Sri Tiong King Sing, the Honourable Member for N.52 Dudong for today and tomorrow’s sitting.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini saya ingin mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Dato Sri Bo’ Tajang Laing, mantan Menteri kabinet Sarawak dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Belaga yang telah meninggal dunia pada 23 April 2026 dan seluruh ahli keluarga mendiang Datin Patinggi Puan Sri Dr Yong Sau Kan, isteri kepada mendiang Datuk Patinggi Tan Sri Wong Soon Kai, Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah meninggal dunia pada 25 April 2026. Bagi menghormati kedua-dua mendiang marilah kita bersama-sama berdiri bertafakur selama satu minit.

(Bertafakur selama satu minit)

Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan yang dihormati sekalian, sukacita saya memaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan hadir untuk menyampaikan ucapan kepada sidang Dewan pada pagi ini. Dengan itu, saya menangguhkan mesyuarat Dewan sebentar untuk membolehkan saya mengiringi keberangkatan masuk Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi ke dalam Dewan.

(Mesyuarat ditangguhkan pada jam 10:05 pagi)

[Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi, diiringi oleh Tuan Speaker, Timbalan Speaker, Setiausaha Dewan, Pemangku Timbalan Setiausaha Dewan dan Bentara Mesyuarat masuk ke Dewan Mesyuarat]

(Mesyuarat dimulakan pada jam 10:16 pagi)

Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar

Tuan Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum W.B.T, Salam sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Sarawak Maju Makmur. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Ahli-ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas pada hari ini.

Saya berharap persidangan Dewan yang mulia ini berlangsung dalam suasana yang aman, tertib dan penuh rasa tanggungjawab. Perbezaan pandangan hendaklah dibahas secara matang, berhemah dengan semangat mengutamakan kepentingan Sarawak.

Mendepani Cabaran Global

Tuan Speaker, dunia ketika ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan akibat ketegangan geopolitik, perubahan ekonomi global serta konflik antarabangsa yang boleh memberi kesan kepada kestabilan pasaran dunia dan rantaian bekalan global. Kesan daripada ketidaktentuan ini turut dirasai oleh rakyat melalui peningkatan kos sara hidup, harga makanan, kos pengangkutan dan tekanan terhadap ekonomi isi rumah.

Walaupun banyak negara berdepan cabaran ekonomi yang semakin kompleks, Sarawak masih mampu mengekalkan kestabilan ekonomi hasil pengurusan kewangan yang berhemah, dasar pembangunan yang jelas serta pentadbiran yang cekap.

Pelbagai langkah proaktif dilaksanakan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang sangat kita dihargai, khususnya dalam membantu mengurangkan beban rakyat melalui pelbagai bantuan dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Dalam menghadapi cabaran global berterusan, semua kita perlu memperkukuhkan kerjasama, meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan usaha membangun ekonomi supaya lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan. Pada masa yang sama, kesejahteraan rakyat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan supaya tidak ada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.

Merealisasikan PCDS 2030

Tuan Speaker, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 atau PCDS 2030 terus menjadi panduan untuk menentukan hala tuju pembangunan Sarawak ke arah sebuah Wilayah yang maju, mampan dan berpendapatan tinggi.

Kini, Sarawak memasuki fasa yang amat penting dalam merealisasikan agenda tersebut melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13. Tempoh beberapa tahun yang berbaki sebelum tahun 2030 perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan segala dasar dan perancangan yang telah digariskan dapat diterjemah kepada hasil yang memberi manfaat nyata kepada Sarawak dan rakyatnya.

Penekanan perlu terus diberi kepada pembangunan industri bernilai tinggi, transformasi digital, tenaga bersih, ekonomi hijau dan pembangunan modal insan bagi memperkukuhkan daya saing dan daya tahan ekonomi Sarawak, di samping boleh menarik minat pelabur dalam dan luar negara.

Dalam hubungan ini, tindakan dan penyelarasan yang lebih cekap dan teratur antara kementerian dan agensi amat penting supaya setiap inisiatif dapat dilaksana dan direalisasikan dengan lebih pantas, tersusun dan boleh memberi kejayaan cemerlang dan berimpak tinggi. Ekonomi Baharu dan Transformasi Digital

Tuan Speaker, saya turut merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Premier Sarawak atas lawatan kerja yang berjaya ke United Kingdom dan Ireland baru-baru ini. Lawatan ini telah membukakan peluang pembangunan ekonomi baru, kerjasama strategik dalam bidang teknologi tinggi, pelaburan masa hadapan, ekonomi digital dan pembangunan modal insan. Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus meneroka sektor bernilai tinggi serta memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam ekosistem ekonomi dan teknologi global.

Memperkukuh Agenda Tenaga Bersih

Tuan Speaker, Sarawak kini dikenali sebagai antara peneraju tenaga bersih dan ekonomi hijau di rantau ini. Usaha memperluas penggunaan tenaga boleh dibaharui seperti hidro, solar, biotenaga dan teknologi bahan api rendah karbon merupakan langkah penting dalam memastikan keterjaminan tenaga yang mampan dan berdaya saing.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah boleh membuka peluang ekonomi baharu serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Sarawak. Sebagaimana yang kita ketahui, negara-negara maju termasuk negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea Selatan memberi penekanan terhadap pengunaan tenaga hijau yang boleh diperbaharui dan pembangunan rendah karbon juga berpotensi menjadi Sarawak sebagai suatu destinasi strategik pelaburan, kerjasama teknologi dan pembangunan industri tenaga bersih pada masa hadapan.

Sarawak perlu terus memperkasa dan mempertingkatkan momentum kekuatan dan pengiktirafan yang dimiliki untuk muncul sebagai hab tenaga bersih yang boleh diperbaharui untuk menarik ramai minat dan pelaburan dari pelaburan dari peringkat serantau dan antarabangsa.

Sarawak sebagai Hab Aeroangkasa dan Teknologi Tinggi

Tuan Speaker, langkah Kerajaan Negeri Sarawak meneroka sektor aeroangkasa, teknologi tinggi dan seluruh eko-sistem merupakan satu pendekatan strategik masa hadapan yang juga mampu membuka lembaran baharu kepada pembangunan ekonomi Sarawak.

Industri ini berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang kerja khususnya para professional serta tenaga berkemahiran tinggi dan yang memberi berpendapatan yang lebih lumayan. Aeroangkasa merangkumi bidang pengeluaran bahan ganti, penyelenggaraan pesawat, teknologi satelit, teknologi dron dan ekonomi digital. Di samping itu, Sarawak juga akan menguasai, penyimpanan data dan maklumat kerajaan serta peribadi untuk keselamatan dan kepentingan Sarawak dan rakyatnya.

Kerjasama antara kerajaan, industri, institusi pendidikan, kementerian berkaitan untuk mencari dan membangun bakat, badan profesional dan sektor industri perlu terus diperkemaskinikan dan diperkasakan bagi memastikan pembangunan modal insan Sarawak benar-benar selari dengan keperluan industri berteknologi tinggi yang sedang berkembang pesat di Sarawak nanti.

Dalam hubungan ini, kementerian dan agensi berkaitan pembangunan bakat ataupun (talent development), khususnya Institusi Pengajian Tinggi dan TVET, tidak boleh bergerak secara bersendirian ataupun memandang ringan amanah yang telah diberikan. Sebaliknya, perlu menjalin kerjasama strategik dengan pihak industri, badan pengguna, tenaga profesional serta pekerja berkemahiran tinggi perlu diperkasa supaya latihan, kemahiran dan kepakaran yang dibangunkan benar benar mampu memenuhi keperluan industri.

Kejayaan Sarawak dalam meneroka industri berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, tenaga hijau, ekonomi digital ini bukan sahaja bergantung kepada dasar kerajaan, tetapi juga kepada keupayaan Sarawak melahirkan para professional, guna tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bergerak seiring dengan pembangunan industri, pembangunan teknologi tinggi dunia. Dengan itu Kementerian Pendidikan, Institusi-institusi Pengajian Tinggi dan TVET akan menjadi alat pengerak untuk mencapai aspirasi kerajaan tersebut.

Dengan pendidikan dan latihan yang mencukupi dan terperinci, saya percaya bahawa Sarawak berupaya menandingi kepakaran, kemahiran dan kebolehan negara lain di dunia dalam bidang teknologi, inovasi dan aeroangkasa, sekali gus berupaya meletakkan Sarawak sebagai antara pusat pembangunan industri aeroangkasa teknologi tinggi yang disegani di peringkat serantau dan antarabangsa.

Merapatkan Jurang dan Memperkasa Luar Bandar

Tuan Speaker, pembangunan infrastruktur pesat termasuk pembinaan jambatan utama, projek jalan raya strategik seperti Jalan Pesisir, Link Road Sabah-Sarawak, jalan-jalan ke negara Brunei serta jaringan luar bandar seluruh Sarawak mampu meningkatkan hubungan, mendekatkan masa perjalanan di samping boleh membuka peluang ekonomi kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar. Dalam hubungan ini, kemudahan perniagaan termasuk Rest and Relaxations dan tapak perniagaan dilaluan tersebut perlu disediakan. Selari dengan itu, kerajaan perlu memberi latihan keusahawanan dan menyediakan bantuan kewangan kepada yang berminat.

Pembangunan keusahawanan luar bandar, industri kecil dan sederhana serta ekonomi digital perlu terus diperkukuh bagi membantu meningkat pendapatan rakyat luar bandar. Dalam hubungan ini, kerajaan juga digesa untuk terus membantu pemasaran produk hasil kampung melalui pewujudan pusat pengumpulan, pengedaran, pusat pemprosesan serta ruang niaga strategik bagi memperluas rangkaian pengeluaran dan jualan produk tempatan.

Sarawak kaya dengan sumber semula jadi, tempat peranginan dan pemandangan yang mengagumkan. Oleh itu, kerajaan perlu memperbanyakkan tapak dan tempat agropelancongan dan ekopelancongan berasaskan budaya serta khazanah alam yang masih wujud yang belum lagi diterokai. Program promosi di peringkat nasional dan antarabangsa perlu dilaksanakan, kewujudan homestay, latihan pengendali, latihan pemandu pelancong tempatan mampu menjadi sumber pendapatan baharu serta memberi manfaat kepada masyarakat, khusus yang di luar bandar secara keseluruhannya.

Pemodenan sektor pertanian perlu diperhebat melalui automasi, jentera moden, teknologi pertanian pintar, sistem baharu seperti contohnya fertigasi, penggunaan dron pertanian, automasi ladang serta pembangunan pusat pengumpulan dan pemasaran, agar hasil tani dapat dipasar dengan lebih luas dan dapat mempertingkatkan daya saing mereka yang terlibat.

Sarawak kaya dengan pelbagai etnik yang mempunyai budaya, bahasa, cara hidup tersendiri yang menjadi identiti serta keunikan Sarawak. Dalam membangunkan sektor pelancongan, warisan budaya masyarakat tempatan perlu terus dipelihara dan didokumentasikan supaya rupa, bunyi, bahasa, adat resam serta identiti asal setiap kaum tidak hilang ditelan zaman dek arus pembangunan pemodenan. Keunikan inilah yang menjadi antara kekuatan utama Sarawak dan mampu terus diketengahkan sebagai tarikan pelancongan budaya yang istimewa dan bernilai tinggi.

Kerajaan juga perlu terus memberi perhatian terhadap isu kos sara hidup kawasan luar bandar supaya jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar tidak begitu ketara akibat faktor logistik dan kedudukan geografi. Dalam masa yang sama, akses internet dan kemudahan komunikasi yang berkualiti serta mampu milik perlu terus diperluas agar rakyat luar bandar tidak tercicir dari sudut pendidikan, pencarian ilmu dan arus ekonomi digital.

Kesalinghubungan Domestik dan Serantau

Tuan Speaker, ekosistem pengangkutan darat dan udara yang moden dan cekap amat penting dalam memperkukuh pembangunan Sarawak. Pelaksanaan Autonomous Rapid Transit (ART) merupakan langkah strategik dalam mentransformasikan sistem pengangkutan bandar yang lebih moden, cekap dan lestari melalui penggunaan teknologi hidrogen yang mencerminkan komitmen Sarawak terhadap agenda tenaga bersih dan pengangkutan hijau.

Penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo, juga merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan udara domestik dan serantau. Saya berharap AirBorneo dapat meningkatkan aksesibiliti penerbangan ke Sarawak termasuk ke pedalaman Sarawak. Usaha ini boleh merangsang sektor pelancongan dari luar ke pedalaman Sarawak, dalam masa yang sama mampu menstabilkan kos penerbangan ke Sarawak, supaya kos ini tidak tertakluk kepada masa dan kepentingan syarikat penerbangan yang ada sekarang ini.

Modal Insan Pemacu Masa Depan

Tuan Speaker, dunia hari ini menyaksikan perkembangan teknologi yang amat pesat. Justeru, Sarawak memerlukan modal insan yang berkemahiran tinggi, menguasai teknologi dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa bagi memastikan negeri ini terus maju dan berdaya saing.

Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pendidikan, khususnya dalam bidang STEM dan TVET, untuk melahirkan tenaga kerja mahir, profesional dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan sektor teknologi bernilai tinggi, seperti hidrogen, aeroangkasa, tenaga hijau, ekonomi digital dan kecerdasan buatan ataupun AI. Oleh itu, ibu-ibu bapa, guru-guru sekolah, pemimpin masyarakat mesti bekerjasama dengan pihak kerajaan dan memainkan peranan dalam membimbing dan menggalakkan anak-anak Sarawak supaya lebih berminat terhadap bidang STEM dan TVET serta tidak mengambil jalan mudah dalam menentukan hala tuju pendidikan anak-anak mereka demi melahirkan generasi yang berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan masa hadapan negeri ini.

Penyediaan bantuan pendidikan, penubuhan sekolah antarabangsa serta pendidikan tinggi percuma di institusi-institusi milik Kerajaan Sarawak merupakan komitmen besar negeri dalam memperkasakan modal insan, menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak Sarawak. Melalui Sarawak Free Tertiary Education Scheme (FTES) yang bermula tahun 2026 ini, yuran pengajian bagi kursus terpilih seperti STEM, perubatan dan undang-undang di institusi milik Kerajaan Negeri termasuk UTS, Swinburne, Curtin dan i-CATS akan ditanggung sepenuhnya.

Bagi membantu meringankan beban pelajar, khususnya daripada golongan B40, bantuan tambahan seperti elaun sara hidup, komputer riba dan baucar buku disediakan melalui Yayasan Sarawak. Di peringkat menengah pula, penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) yang menggunakan kurikulum Cambridge memberi peluang kepada pelajar yang layak untuk menikmati pendidikan setaraf antarabangsa secara percuma. Dalam masa yang sama, sekolah-sekolah uzur, khususnya di kawasan luar bandar perlu terus dinaik taraf supaya pelajar luar bandar dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif.

Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam melahirkan generasi muda Sarawak yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu bersaing di peringkat global tanpa dibebani masalah kewangan. Dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti, nilai moral, integriti dan etika juga hendaklah terus dipupuk agar kemajuan yang dicapai seiring dengan pembentukan sahsiah dan ahlak yang mulia.

Kesejahteraan Hidup Rakyat

Tuan Speaker, kebajikan dan kesejahteraan rakyat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, khususnya golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan komuniti mudah terjejas, lebih-lebih lagi apabila Sarawak dijangka menjadi negeri menua menjelang tahun 2028 yang memerlukan persediaan rapi dari segi kesihatan, kebajikan dan sokongan sosial.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Kenyalang Gold Card dan Senior Citizen Health Benefit, bantuan kewangan, namun, kita perlu sistem penjagaan orang-orang tua, pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan dan anak-anak yang perlu special attention bagi meningkatkan kesejahteraan, kebajikan dan kualiti hidup warga emas di negeri ini pada masa hadapan.

Bandar, kemudahan awam dan pembangunan infrastruktur yang lebih mesra warga emas serta OKU perlu terus diperbanyak supaya golongan ini dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti. Dalam hal ini, pihak jurutera, arkitek serta jabatan, agensi pembangunan juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pembangunan yang dirancang lebih peka dan mesra kepada keperluan warga emas, OKU dan golongan yang memerlukan perhatian khusus.

Pada masa yang sama, pengalaman, kepakaran dan kebolehan warga emas yang masih sihat dan aktif perlu terus dimanfaatkan melalui program bantuan, bimbingan, kesukarelawan atau pekerjaan yang bersesuaian supaya mereka terus dihargai serta dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri.

Tadbir Urus dan Penyampaian Perkhidmatan

Tuan Speaker, tadbir urus yang baik, efisien dan sistematik merupakan asas penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri. Kerajaan Sarawak perlu terus memperkemas sistem penyampaian khidmat awam dan sistem perolehan kerajaan supaya lebih cekap, pantas dan tidak membebankan dalam melaksanakan wawasan serta dasar pembangunan negeri. Dalam dunia yang dipacu oleh teknologi digital dan kecerdasan buatan ataupun AI, undang-undang, peraturan dan prosedur sedia ada perlu juga dinilai dan diubah suai agar mampu menyokong keperluan pembangunan semasa.

Komitmen anggota penjawat awam di semua peringkat dalam memastikan segala dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sempurna merupakan kunci kepada kejayaan agenda pembangunan negeri.

Dengan itu, saya menyeru seluruh anggota penjawat awam negeri agar sentiasa mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi, bertindak dengan lebih pantas, proaktif dan mempunyai rasa keutamaan, tindakan segera, “sense of urgency” dan “sense of ownership” dalam memastikan agenda pembangunan Kerajaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan serta mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut, nilai integriti, amanah dan profesionalisme hendaklah terus dipelihara dan diamal dalam kalangan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan negeri demi memastikan setiap dasar inisiatif kerajaan dapat dilaksana dengan berkesan dan sempurna.

Keselamatan dan Ketenteraman Awam

Tuan Speaker, dalam era digital tanpa sempadan, ancaman terhadap keselamatan awam menjadi semakin kompleks termasuk ancaman siber dan penyebaran berita palsu. Dengan itu, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan platform digital supaya keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Pada masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa berada di tahap yang baik.

Kestabilan Politik dan Keharmonian Sarawak

Tuan Speaker, kestabilan politik dan keharmonian kaum yang dinikmati Sarawak hari ini merupakan antara kekuatan utama negeri ini. Tiap-tiap kita perlu bertanggungjawab mewujudkan suasana yang aman, selamat dan boleh meyakinkan pelabur. Keadaan ini penting kerana pelabur, pemain dan pelaku ekonomi antarabangsa lebih cenderung untuk melabur di negara atau wilayah yang mempunyai kestabilan politik, pentadbiran yang baik dan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni.

Saya menyeru seluruh rakyat Sarawak yang berbilang kaum, agama, budaya serta berbeza pandangan dan pendirian agar terus mengekalkan semangat perpaduan, saling menghormati dan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan negeri ini. Kepimpinan yang berwawasan dan pandangan jauh, Sarawak mampu terus berkembang sebagai sebuah wilayah yang moden, makmur dan berpendapatan tinggi.

Penutup

Tuan Speaker, saya juga ingin berpesan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat agar sentiasa menjaga sanctity dan dignity Dewan Undangan Sarawak; berbahas secara matang, bertanggungjawab serta mengguna perkataan yang baik dan sopan ketika menyampaikan pandangan. Sebagai pemimpin, kita hendaklah menunjuk teladan dan sebagai role model yang baik kepada masyarakat khususnya generasi muda yang sentiasa memerhati tingkah laku dan tutur kata para pemimpin.

Telah menjadi amalan dalam sistem demokrasi negara kita, termasuk di Sarawak, bahawa wakil rakyat merupakan penghubung antara kerajaan dan rakyat. Oleh itu, Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa dekat dengan rakyat bagi memenuhi denyut nadi serta keperluan sebenar masyarakat supaya kerajaan dapat menerima maklum balas yang tepat demi memastikan setiap dasar dan pembangunan yang dilaksanakan sebenar memberi manfaat kepada rakyat.

Marilah kita bersama-sama meneruskan usaha membangun Sarawak sebagai sebuah wilayah yang maju, makmur, aman dan dihormati, tanpa mengabaikan nilai perpaduan, keharmonian, bermoral dan berakhlak tinggi. Kesejahteraan rakyat mesti diutamakan. Semoga Sarawak terus dilimpah keamanan, kestabilan dan kemakmuran demi kesejahteraan generasi hari ini dan masa hadapan.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam dan Selamat Hari Gawai kepada masyarakat Dayak di Sarawak.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas.

[Bacaan Doa oleh Sahibul Fadilah, Timbalan Imam Besar Negeri Sarawak]

Tuan Speaker

Sidang Dewan yang dihormati sekalian, bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ucapan dan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kesembilan Belas pada pagi ini.

Ahli-ahli Yang Berhormat, sesi bergambar untuk semua Ahli-ahli Yang Berhormat bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan diadakan di anjung hadapan bangunan ini sejurus selepas majlis jamuan tengah hari. Bagi pihak Dewan yang mulia ini juga, saya dengan penuh takzimnya menjemput tetamu khas kita dari Sabah untuk turut serta dalam sesi bergambar nanti. Dewan akan bersidang semula pada jam 9:00 pagi, esok hari, Selasa, 12 Mei 2026.

[Keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi meninggalkan Dewan Mesyuarat]

(Mesyuarat ditangguhkan pada jam 10:55 pagi)