Dewan Rakyat · 13 September 2021

15th Parliament, session 4, meeting 1 · 16 turns · 2,877 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

(Pembukaan)

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Yang Keempat Belas

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen Yang Keempat Belas, Penggal Keempat yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung. Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama. Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan.

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.18 pagi]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 10.23 pagi]

Tuan Yang di-Pertua

[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersembahkan Titah Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in BillahBill

Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassolaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Anbiyaai Wal Mursaliin, Wa’ala Aalihi Wa Sohbihi Ajma’iin. Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Dewan Negara dan Ahli-ahli Dewan Rakyat yang Beta hormati sekalian. Segala pujian ke hadrat Allah SWT Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang berkuasa memuliakan sesiapa yang dia kehendaki dan menghina sesiapa yang dikehendaki. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Alhamdulillah. Bersyukur Beta ke hadrat Allah SWT kerana dengan kekuasaan- Nya jua telah mengizinkan berlangsungnya Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 pada hari yang penuh bermakna ini. Istiadat pada pagi yang mulia ini berlangsung dalam suasana negara masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19. Namun, Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat ini jelas membuktikan bahawa amalan Demokrasi Berparlimen masih lagi subur berakar di negara yang tercinta ini. Sebelum Beta memulakan titah, Beta ingin mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan seluruh rakyat Malaysia untuk bertafakur dan kepada yang beragama Islam untuk membaca surah Al-Fatihah bagi kita memperingati rakyat Beta yang telah terlebih dahulu pergi buat selama-lamanya menemui Tuhan Yang Maha Esa akibat pandemik COVID-19. Al-Fatihah. [Ahli-ahli beragama Islam membaca surah al-Fatihah] [Ahli-ahli bukan beragama Islam bertafakur seketika] Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pada 16 Ogos yang lalu, buat kali kedua dalam tempoh pemerintahan Beta, negara telah sekali lagi menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia. Pada kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin, [Tepuk] Perdana Menteri Malaysia yang kelapan dan barisan Ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik COVID-19 yang getir. Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu, ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan telah Beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan. Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, Beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Menerusi surat-surat akuan tersebut, Beta mendapati seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera. [Tepuk] Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 Ahli Dewan Rakyat tersebut, Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan

mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan. Jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. [Tepuk]

Justeru, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Beta telah perkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan. [Tepuk] Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipatgandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat Beta keluar dari ancaman pandemik ini. Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, Beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama. Melangkah ke hadapan, bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Justeru, Beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara. Di sini Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama (dwipartisan) antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara. Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi, “Biduk lalu, kiambang bertaut”. Sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia' sahajalah kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, negara kita berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat. Beta amat menghargai segala usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik COVID-19 serta impaknya terhadap aspek ekonomi, aspek sosial dan kesejahteraan rakyat. Manakala, peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori satu dan dua. Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia. [Tepuk] Pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta. Kini, hampir 75 peratus pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan Program Imunisasi Industri telah menerima vaksinasi lengkap dan telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan. Di sebalik kejayaan ini, Beta menyeru supaya kita jangan cepat terleka dan berpuas hati. Usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu. Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan seberapa segera. Menyedari hakikat tersebut, strategi whole-of-society effort perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan. Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperkasa ‘Agenda Nasional Malaysia Sihat’ dalam mendidik keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini. Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Dalam kita menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus ini khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan. Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga

dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard pada sebilang masa. Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasikan. Kerajaan juga hendaklah memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing agar penularan varian baharu dapat dikawal. Pada masa yang sama, kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat yang bernilai RM530 bilion. Di samping itu, belanjawan bagi tahun 2021 adalah belanjawan terbesar dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion. Beta menyambut baik komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan prestasi ekonomi negara agar lebih lestari, lebih mampan dan berdaya saing khususnya dalam pengukuhan sektor perdagangan dan pelaburan. Daripada keseluruhan RM107 bilion pelaburan yang diluluskan, kerajaan telah memperoleh hampir RM40 bilion nilai pelaburan dari tiga misi perdagangan dan pelaburan bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2021. Selain itu, jumlah dagangan negara telah mencapai RM1 trilion dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini. Pencapaian pelaburan negara bagi kesemua sektor ekonomi juga telah meningkat hampir 70 peratus. Ini jelas memberi imej yang sangat positif bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang amat kompetitif, mesra perniagaan dan merupakan lokasi menarik bagi pelaburan antarabangsa dan domestik. Beta juga bersyukur kerana Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku kedua tahun ini telah berkembang sebanyak 16.1 peratus. Secara keseluruhan, pelaksanaan pakej rangsangan pembukaan semula ekonomi dan sektor ekonomi Malaysia yang pelbagai (well-diversified) telah berjaya menunjukkan trend pemulihan ekonomi. Pemulihan tersebut telah didorong oleh langkah yang diperkenalkan termasuk bantuan tunai kepada rakyat serta pakej sokongan bagi kelangsungan perniagaan. Untuk separuh tahun 2021, kerajaan telah memberi bantuan tunai kepada 10 juta orang penerima dari golongan B40 dan M40 termasuk bantuan khas COVID-19 yang bernilai RM10 bilion. Bagi perniagaan di bawah pakej PEMULIH, Geran Khas Prihatin bernilai RM1,000 akan dibayar kepada lebih satu juta perusahaan kecil sederhana dan mikro. Demi kelangsungan perniagaan, PEMULIH juga telah menyediakan subsidi upah sehingga empat bulan tambahan bernilai hampir RM4 bilion yang bakal memberi manfaat kepada lebih 200 ribu orang majikan. Meskipun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif terhadap sektor-sektor tertentu negara, Beta berkeyakinan ekonomi Malaysia akan mula menunjukkan pemulihan selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dan seterusnya memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dan para pelabur. Oleh yang demikian, kerajaan hendaklah sewajarnya mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra kenegaraan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara. Selain itu, perbelanjaan yang sewajarnya perlu turut disediakan bagi membiayai langkah kesihatan awal, menyediakan bantuan kepada golongan yang terjejas serta sokongan untuk menggiatkan aktiviti perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi.

Untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tujuan tersebut, kerajaan akan membentangkan cadangan di Dewan yang mulia ini bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 serta had statutori hutang kerajaan. Peningkatan daya saing negara juga perlu difokuskan terhadap usaha menambah baik ekosistem serta persekitaran perniagaan bagi meneroka penciptaan kekayaan baru dan menambah nilai terutamanya oleh perusahaan mikro kecil dan sederhana. Perusahaan ini juga perlu diberi galakan untuk mengurus perniagaan secara digital demi menjamin akses pasaran yang lebih luas. Selain itu, bidang-bidang pertumbuhan ekonomi baharu perlu segera dikenal pasti supaya Malaysia tidak ketinggalan di arena global.

Sementara itu, inisiatif baru dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian, industri makanan, pelancongan dan mineral perlu dipercepatkan pelaksanaannya. Sektor-sektor tersebut sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu negara di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negara. Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan Rancangan Malaysia Kesebelas bagi tempoh 2016 hingga 2020. Dalam sesi Parlimen ini, kerajaan akan membentang pula Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025. Rancangan ini bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar dan transformasi struktur untuk membawa pembangunan negara pada asas yang lebih kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang bagi merealisasi semangat ‘Keluarga Malaysia' dan mencapai matlamat ‘Malaysia Makmur, Inklusif Mampan’. Dasar jangka sederhana dan panjang akan turut diperkenalkan bagi menangani isu-isu kesihatan, keselamatan, kemiskinan, kehilangan pekerjaan dan kelangsungan perniagaan di samping melonjakkan pertumbuhan ekonomi bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi. Beta berkeyakinan pembangunan negara dan taraf hidup rakyat akan terus meningkat serta jurang pembangunan antara wilayah dan negeri khususnya Sabah dan Sarawak akan dapat dirapatkan, insya-Allah. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sesungguhnya beta amat prihatin dengan nasib rakyat beta yang telah terkesan ekoran daripada pelaksanaan pelbagai langkah tertentu oleh kerajaan dalam usaha untuk membendung pandemik covid-19. Di sini beta menyeru pada Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk bertindak lebih proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu-isu rakyat dari dekat serta memantau pencapaian program-program yang telah diumumkan. Program Jaringan Keselamatan Sosial seperti Inisiatif Wilayah Cakna, Wilayah Bebas Berniaga dan Program Usahawan Anak Muda Kota yang berupaya untuk meringankan bebanan warga kota hendaklah terus diberi tumpuan. Di masa yang sama, program pembangunan luar bandar hendaklah terus ditingkatkan dan diperkasakan dan ketika ini sejumlah 7.6 juta warganegara adalah merupakan penduduk luar bandar termasuklah 198,015 orang penduduk Orang Asli. Kerajaan hendaklah menentukan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas yang meliputi infrastruktur ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Inisiatif untuk membantu masyarakat luar bandar dalam menghadapi pandemik covid-19 juga wajar diteruskan bagi meringankan bebanan mereka. Kerajaan juga hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik. Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi serta meningkat upaya perniagaan perusahaan kecil dan sederhana. Persekitaran mesra digital serta penggunaan transformasi dan teknologi tinggi boleh menjadi pemangkin kepada negara untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah pada industri berteknologi tinggi. Di samping itu, ianya boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya berupaya untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing. Walau apa jua cadangan yang dihadapi, bidang pendidikan tidak boleh dilupakan sama sekali. Pendidikan yang mencakupi pelbagai bidang ilmu hendaklah sentiasa diterokai terutamanya pendidikan sains dan teknologi, akses pendidikan yang lebih inklusif perlu diberi perhatian bagi melahirkan anak watan yang mampu menghasilkan pelbagai inovasi berimpak tinggi. Manakala pendidikan akhlak dan kerohanian turut wajar diberi tumpuan demi untuk membendung pelbagai agenda negatif dan menyimpang dari tatasusila masyarakat.

Pendidikan pasca pandemik covid-19 memerlukan rancangan jangka masa panjang yang mampan dan telus serta bersifat holistik dan komprehensif. Formula Pelan Pendidikan Pasca Pandemik yang tuntas memerlukan penglibatan dan kerjasama dari semua pemegang taruh merentasi politik, ideologi dan kepakaran. Aspek pertahanan dan keselamatan termasuk keselamatan siber turut berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat beta. Agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap pertahanan dan keselamatan negara hendaklah sentiasa bersiap siaga pada sebilang masa dan terus meningkatkan keupayaan masing-masing, sebarang bentuk tindakan yang cuba yang mencabar kedaulatan negara hendaklah segera ditangani agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara aman lagi berdaulat. [Tepuk] Beta turut menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik yang diambil oleh kerajaan dalam bidang diplomasi yang akhirnya telah meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa. Ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang telah diterima daripada negara-negara lain. Justeru beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih pada kerajaan United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, Republik Rakyat China dan Emiriah Arab Bersatu atas sumbangan vaksin tersebut. [Tepuk] Beta juga menyambut baik langkah kerajaan dalam menggalakkan amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti. Menerusi amalan ini sebuah sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berintegriti, telus, cekap akan menjadi kenyataan. Oleh yang demikian adalah amat bertepatan bagi Pelan Anti Rasuah Nasional [Tepuk] dan Pelan Anti Rasuah Organisasi untuk terus didukung bagi mencapai aspirasi rakyat beta untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas rasuah [Tepuk] dan berintegriti. Ahli-ahli Yang Berhormat, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhana Wataala kerana negara bertuah ini telah dilimpahkan rahmat keamanan dan keharmonian yang berkekalan. Rasanya, rakyat beta dari berbilang bangsa, budaya dan agama dapat hidup dengan penuh kemakmuran dan bekerja bersama-sama untuk kemajuan negara.

Beta menyeru agar sebarang bibit-bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu. Bersempena sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan tidak berapa lama lagi, Beta menyeru kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Beta untuk menghayati sejarah kemerdekaan negara dan pembentukan Persekutuan Malaysia agar kita akan sentiasa berdiri tegap dan kukuh atas asas patriotisme dan semangat cinta akan negara yang tinggi. Pada kesempatan ini, Beta ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan para atlet negara di temasya Sukan Olimpik [Tepuk] dan Sukan Paralimpik Tokyo yang telah berjuang mengharumkan nama negara dengan berbekalkan sokongan dan doa dari seluruh rakyat Malaysia. Beta juga amat menghargai taat setia dan sumbangan anggota-anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan disegani. [Tepuk] Dalam negara berhadapan saat getir mengharungi pandemik COVID-19, petugas barisan hadapan negara khususnya perkhidmatan kesihatan terus berusaha keras mencurahkan khidmat bakti tanpa mengenal penat dan lelah serta berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam sebuah landskap tempoh pandemik yang panjang. Justeru, marilah kita terus menyokong dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal lain atas perkhidmatan mereka yang tiada bandingannya. [Tepuk] Di sini saya ingin menjemput kepada semua untuk berdiri, untuk memberikan tepukan gemuruh kepada petugas-petugas barisan hadapan dan kepada para atlet yang berjaya di peringkat Olimpik dan Paralimpik. Sila. [Ahli-ahli Dewan berdiri dan memberi tepukan gemuruh]

Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19. Negara dan rakyat Beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi. Terlalu ramai rakyat Beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini dan terlalu ramai juga rakyat Beta yang telah kehilangan sumber rezeki. Ratusan pucuk surat telah Beta terima dari rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa. Nasihat Beta kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu. [Tepuk] Justeru, ingin Beta menyeru kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 ini serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita. [Tepuk] Semoga Malaysia serta rakyat yang Beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya. Di sini, izinkan Beta untuk mengakhiri titah ini menerusi tiga rangkap pantun sebagai pesanan tulus ikhlas Beta untuk Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Dari Segamat ke Kota Tinggi, Hajat mulanya ke Kuala Pahang, Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti, Tidaklah rakyat gusar dan bimbang. [Tepuk] Kalau memandang langit yang tinggi, Jangan lupa rumput di bawah, Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati, Martabatkan negara kembali bermaruah. [Tepuk] Tidak boleh jawab. [Ketawa] Rempah halia digaul diuli, Buat ramuan nasi kebuli, Sumpah setia ketaatan diberi, Pertahankan negara dan ibu pertiwi. [Tepuk] Sekian dan selamat bersidang. Mudah-mudahan kita diberkati Allah SWT. Sekian, Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh. [Tepuk]

[Dewan ditangguhkan pada pukul 10.55 pagi]

[Doa Selamat dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah] [Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Majlis Parlimen]