Dewan Rakyat · 20 September 2021
15th Parliament, session 4, meeting 1 · 459 turns · 57,334 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan, adakah kementerian bercadang untuk mengkaji pemberian subsidi berasaskan ‘output’ dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran padi negara di samping terus menjaga kepentingan dan kebajikan para pesawah.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Sik. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan telah memperkenalkan lima program bantuan subsidi dan insentif kepada industri padi dan beras negara bagi memastikan kelangsungan pengeluaran padi dan beras negara, di samping mampu menampung keperluan pasaran domestik dan menjana pendapatan pesawah. Empat program bantuan subsidi bagi input pertanian adalah: (i) Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP); (ii) Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP); (iii) Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit atau Huma (SBRPB); dan (iv) Skim Insentif Benih Padi Sah (IBPS). Manakala Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) merupakan program bantuan subsidi bagi output pertanian apabila pesawah menjualkan hasil tanaman bagi mendapatkan insentif. Pada tahun 2021, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah diperuntukkan sebanyak RM1.53 bilion bagi meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha-pengusaha tanaman padi di Malaysia dalam memastikan kelangsungan industri padi beras negara serta meningkatkan taraf ekonomi pesawah. Keseluruhan bantuan subsidi dan insentif ini akan memanfaatkan kira-kira 300 ribu orang pesawah di seluruh negara dengan mengurangkan kos pesawah sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran padi. Sehubungan dengan itu, seperti yang dicadangkan oleh Yang Berhormat, MAFI sememangnya sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur. Sebagai contoh, program bantuan output pertanian bersubsidi iaitu Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) juga telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM360 bagi setiap setan metrik padi bersih bermula Januari 2019. Matlamatnya untuk menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah. MAFI akan terus berunding dengan Kementerian Kewangan berkenaan pelaksanaan pendekatan pemberian subsidi dan insentif yang berasaskan output yang
akan menggalakkan pesawah untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di samping mewujudkan self-regulated industry secara beransur-ansur serta mengurangkan penglibatan dan pemantauan kerajaan di sepanjang rantaian pengeluaran padi. Walau bagaimanapun, sebarang pengurangan atau penarikan bantuan subsidi dan insentif input pertanian secara drastik adalah tidak disyorkan pada masa ini kerana ianya akan menjejaskan pendapatan pesawah secara langsung malah hasil kajian empirikal kesan subsidi ke atas pengeluaran padi dan pendapatan petani oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2019 menyatakan bahawa kedua-dua subsidi dan insentif berasaskan input dan output masih diperlukan untuk memastikan pulangan lestari kepada pesawah pada masa ini. Dalam hal ini, pendekatan ini akan dilaksanakan secara dengan perancangan yang teratur dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan input dan output di mana kerajaan juga telah menawarkan kontrak kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk membekal dan menghantar input pertanian di bawah SBPKP dan SIPP bagi tempoh 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2023 bernilai RM1.82 bilion. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, meskipun pemberian bantuan subsidi dan insentif dilaksanakan bagi industri padi dan beras negara setiap tahun, namun MAFI mendapati bahawa produktiviti kedua-dua kawasan jelapang dan luar jelapang yang diukur melalui Tahap Sara Diri (SSL) masih belum menunjukkan peningkatan yang signifikan. Dalam hal ini, MAFI sedang giat melaksanakan transformasi dan pembaharuan industri padi beras negara dan dalam tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi meningkatkan SSL ke tahap 75 peratus dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas. Pendekatan baharu antara lain merupakan pelaksanaan program SMART SBB ataupun SMART Sawah Berskala Besar yang sedang giat dilaksanakan di beberapa lokasi tertentu di negara kita. Sekian, terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas penjelasan dan komitmen terus kementerian meletakkan kepentingan petani dan juga memastikan pengeluaran makanan kita akan terus kekal. Soalan saya, adakah pihak kementerian dapat melihat satu lagi bantuan khas yang pernah dilaksanakan sebelum ini iaitu pada tahun 2018, bantuan khas menunggu musim menuai iaitu kita membantu para petani kita yang menunggu masa untuk beralih musim ketika mana suasana luar jangka yang selalu berlaku di sawah-sawah seperti banjir, kemarau dan sebagainya?
Begitu juga, soalan saya sedikit tambahannya iaitu kerajaan telah melaksanakan Program Subsidi Baja Bio yang dilaksanakan pada musim satu 2020 yang lalu dalam Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP). Adakah kementerian bercadang meneruskan lagi Subsidi Baja Bio ini dalam usaha untuk meningkatkan kesuburan tanah dan nutrien yang telah pun lengkap dalam laporan soil profiling yang dilaksanakan oleh pihak kementerian sendiri di sawah-sawah kita. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Ahli Yang Berhormat Sik. Bantuan Subsidi Baja Bio dan Mikrob ini dan juga Bantuan Khas Tunggu Musim adalah merupakan dua bantuan yang dibuat oleh kementerian dalam bentuk one-off. Bantuan Subsidi Baja Bio umpamanya dilaksanakan selama dua tahun daripada 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021 yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM116 ribu juta. Sementara, Bantuan Khas Tunggu Musim adalah satu bentuk bantuan one-off yang melibatkan bantuan sebanyak RM200 untuk jangka waktu tiga bulan. Seperti yang saya katakan, kedua-dua ini adalah bantuan berbentuk one-off yang dilaksanakan bagi tujuan-tujuan tertentu. Kita melihat, mengambil berat dan mengambil maklum tentang cadangan untuk mewujudkan sebegini bentuk bantuan. Walau
bagaimanapun, sebarang bantuan seperti ini akan tertakluk kepada peruntukan dana kerajaan yang dipegang oleh Kementerian Kewangan. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan kedua, Yang Berhormat Kulim- Bandar Baharu.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, bercakap tentang industri padi dan mendengar jawapan Yang Berhormat Menteri, tidak syak lagi industri ini antara yang menerima subsidi yang paling lumayan, Alhamdulillah. Namun hakikatnya adalah pengeluaran padi di negara kita adalah yang paling rendah berbanding negara ASEAN yang lain, Thailand, Vietnam, Filipina, Indonesia. Bank Pembangunan Asia suatu ketika pernah membuat kajian dan mengesahkan ketika hasil rendah, kos pengeluaran padi per kilogram kita yang tertinggi di ASEAN. Jadi, ketika satu juta keperluan beras di negara kita, kita masih bergantung kepada import sebesar 30 peratus. Ketika Yang Berhormat Menteri tadi berkongsi kepada Dewan tentang banyaknya subsidi dihasilkan, saya mohon penjelasan Yang Berhormat Menteri apakah lagi ikhtiar untuk meningkatkan hasil penanaman padi kerana jika ini berhasil, dua perkara dipenuhi iaitu: (i) menampung keperluan padi negara beras; dan (ii) meningkatkan taraf kehidupan penanam padi yang sekarang berada di lantai bawah kemiskinan. Terima kasih.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat. Seperti yang saya katakan tadi, industri padi beras merupakan satu industri yang highly subsidized di Malaysia. Contohnya subsidi yang diberi oleh kerajaan untuk satu hektar berjumlah sebanyak RM4,217.23. Ini ialah kos yang diberi oleh kerajaan untuk satu hektar tanah sawah di negara kita. It’s a highly subsidized industry kerana kita melihat bahawa padi beras merupakan makanan penting dan merupakan tanaman yang penting bagi negara kita. Oleh sebab itu, kita melihat pelbagai bentuk pendekatan-pendekatan baharu dan menambah baik pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk meningkatkan hasil pengeluaran negara dan juga untuk meningkatkan pendapatan pesawah di negara kita. Seperti yang saya katakan tadi, pendekatan Sawah Berskala Besar (SBB) adalah merupakan satu pendekatan baharu yang dibuat oleh kementerian dan kerajaan untuk melibatkan penglibatan pihak industri bersama dengan pesawah bagi meningkatkan pengeluaran padi di negara kita. Saya akui bahawa kebanyakan kawasan jelapang kita, average production productivity adalah lebih kurang 3.5 metrik tan per hektar. Akan tetapi, jika dibandingkan dengan ladang-ladang swasta di negara kita juga, penghasilan padi boleh mencecah hingga 10 dan 12 metrik tan per hektar. Ini mengajar kita bahawa perlu satu bentuk pengurusan sawah yang lebih efisien di negara kita. Oleh sebab itu, konsep Sawah Berskala Besar (SBB) adalah merupakan satu pendekatan baharu yang dibuat oleh kerajaan bertujuan untuk meningkatkan SSN negara, pengeluaran hasil padi negara dan juga pada masa yang sama meningkatkan pendapatan pesawah di negara kita. Terima kasih.
Soalan seterusnya saya jemput Yang Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim.
2. Dato' Seri Anwar bin Ibrahim [Port Dickson] minta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan sejauh mana pemantauan kementerian terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan khasnya di kawasan yang digazet sebagai hutan simpanan dan tindakan yang diambil terhadap kes-kes pelanggaran.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Keluarga Malaysia. Terima kasih kepada Yang Berhormat Port Dickson, Ketua Pembangkang. Soalan mengenai pemantauan aktiviti pembalakan di kawasan hutan khususnya di hutan simpan. Tuan Yang di-Pertua, pengurusan hutan di Malaysia adalah berteraskan kepada satu prinsip iaitu Pengurusan Hutan Secara Berkekalan ataupun dengan izin Sustainable Forest Management (SFM). Ini adalah selari dengan Dasar Perhutanan Negara kita Malaysia. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melaksanakan pelbagai pemantauan terhadap aktiviti pembalakan khususnya di kawasan hutan simpan kekal (HSK) melalui jabatan-jabatan yang ada di bawah kementerian ini khususnya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan juga Jabatan-jabatan Perhutanan di negeri-negeri di Malaysia dan Sabah dan Sarawak. Antara langkah pemantauan yang telah diambil oleh kementerian dan juga jabatan-jabatan berkaitan, secara umumnya ada tujuh langkah. Pertamanya, kerajaan mengadakan pengawalan terhadap pembukaan kawasan usaha hasil iaitu melalui pelaksanaan apa yang disebut Catuan Tebangan Tahunan (CTT). Yang mana CTT ini diluluskan oleh persidangan Majlis Tanah Negara yang ditetapkan selama setiap Rancangan Malaysia iaitu lima tahun sekali, satu CTT ditetapkan. Penetapan CTT berasaskan kepada keupayaan pemulihan semula jadi (natural regeneration capacity) bagi setiap kawasan yang diusaha hasil. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, untuk Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu 2021 hingga 2025, CTT yang diluluskan oleh MTN adalah sebanyak 188,550 hektar untuk lima tahun. Maknanya, setahun sekitar 37,710 hektar untuk semua negeri. Sebagaimana kita tahu bahawa CTT adalah melibatkan kawasan hutan simpan kekal tetapi ia dikategorikan sebagai hutan simpan kekal pengeluaran dan bukannya hutan simpan kekal perlindungan. Langkah yang kedua ialah pelaksanaan pensijilan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I) bagi negeri-negeri yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak. Sijil ini adalah sebagai satu kayu pengukur pelaksanaan prinsip SFM yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ketiga, melaksanakan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu di mana bukan hanya jabatan perhutanan tetapi juga dilaksanakan bersama jabatan-jabatan lain, PBT, pejabat tanah, PDRM, JPJ, PERHILITAN dan sebagainya. Ada juga unit risikan untuk merisik penceroboh hutan dan juga digunakan teknologi terkini FMRS (Forest Monitoring Using Remote Sensing), GIS (Geographic Information System) dan GPS (Global Positioning System). Keempat, juga adanya Unit Integriti di dalam kementerian ini dan juga di Jabatan Perhutanan yang diketuai oleh pegawai dari SPRM untuk membanteras ketirisan hasil kerajaan daripada sektor ini. Kelima, melaksanakan inisiatif, ini di Sarawak Tuan Yang di-Pertua yang disebut Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS). Ini di Sarawak. Kemudiannya di Sabah, mulai tahun 2010, semua pemegang lesen jangka panjang (Sustainable Forest Management License Agreement) dan lain-lain lesen pembalakan diwajibkan diaudit oleh independent third-party auditor. Ini di Sabah ya dan ini telah didapati berkesan.
Ketujuh, wujudnya pembukaan Pusat Pemantauan Sumber Hutan Negara di JPSM yang juga dipanggil di dalam konteks kementerian, War Rom yang bertujuan untuk mengesan apa-apa perubahan di dalam kawasan hutan simpan. Tuan Yang di-Pertua, KeTSA memandang serius pembalakan haram dan kesalahan hutan yang lain dalam hutan simpan kekal ini. Sehingga 31 Julai 2020 terdapat tangkapan dan kesalahan hutan dan juga pembalakan haram. Di Semenanjung 26 kes
pembalakan haram, 184 kesalahan hutan yang lain, di Sabah 37 pembalakan haram, 3 kesalahan yang lain dan di Sarawak 93 kes pembalakan haram, 15 kes kesalahan hutan yang lain. Kita juga sedang membuat perancangan untuk meminda beberapa undang- undang yang berkaitan Akta Perhutanan Negara, Ordinan Hutan di Sarawak dan juga Enakmen Hutan di Sabah. Ini semua untuk meningkatkan aktiviti pemantauan terhadap pencerobohan hutan di negara kita. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sepanjang tempoh PKP, aktiviti penguatkuasaan hutan adalah essential services . Oleh sebab itu, kawasan-kawasan yang merupakan hotspot atau berisiko tinggi terhadap kesalahan ini sentiasa dipantau oleh pihak penguat kuasa. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Dato Seri.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan terima kasih di atas penjelasan Yang Berhormat Menteri. Saya hendak jelaskan bahawa persoalan ini bukan baharu, sudah menjadi masalah kepada negara sejak puluhan tahun. Saya teliti semua jawapan kementerian yang lalu, terutama pada tahun 2020, Yang Berhormat Temerloh, Yang Berhormat Permatang Pauh, Yang Berhormat Petaling Jaya, Yang Berhormat Maran dan Yang Berhormat Kemaman. Jawapan-jawapan itu seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri bunyi yang meyakinkan. Akan tetapi kenyataan yang ada sekarang, apa? Pembalakan haram masih berleluasa. Kelulusan yang tidak mengikut kaedah persetujuan bersama yang diluluskan oleh Majlis Tindakan Negara masih berlaku. Walaupun kita tahu kedudukan undang- undang, Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan Kuasa Negeri. Saya tidak pertikai itu tetapi saya pertikai dan soalan saya merujuk kepada pemantauan dan tindakan. Kemudahan yang diberikan kepada Jabatan Perhutanan dan Jabatan PERHILITAN itu agak canggih dan sekiranya ada keperluan, kita bersetuju untuk memberi sokongan kemudahan tambahan. Forest monitoring using remote sensing plus five, continuous monitoring of surveillance yang disebut sebahagiannya tadi, semua itu menarik. Soalannya adalah mengapa pembalakan haram yang memusnahkan persekitaran dan menyebabkan banjir dan lain-lain itu masih berterusan walaupun dasar-dasar itu berjalan terus. Itu yang saya hendak tegaskan, bukan ambil tindakan-tindakan kecil. Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, setengah minit, iaitu pengalaman saya semasa kita buka Universiti Utara Malaysia. Pembalakan haram berlaku. Bila ditanya, tidak kelihatan katanya, tanah sudah botak dan lori-lori balak dibawa keluar. Kalau jarum dibawa keluar, saya faham ia agak rumit. Jadi, perkara ini tidak boleh diizinkan berlaku dan kita minta Menteri ada political will (courage) untuk menangani masalah pembalakan haram secara tegas dari negara kita. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri
Terima kasih Yang Berhormat Port Dickson, Ketua Pembangkang atas prihatin beliau terhadap masalah pembalakan haram di negara kita ini. Sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat, memang kita akui yang kita tidak boleh menghapuskan apa-apa kesalahan. Apa yang boleh dibuat oleh mana-mana pihak berkuasa ialah untuk mengurangkan dan meminimumkan kesalahan dengan antaranya pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang yang telah saya sebutkan tadi. Memang ia menjadi suatu kesalahan yang berterusan daripada dahulu, semasa zaman Yang Berhormat Port Dickson menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu pun, macam ini lah juga berlaku. Tuan Yang di-Pertua, walau apa pun keadaannya, saya daripada pihak kerajaan ingin mengesahkan bahawa sebenarnya tidak pernah berlaku perlanggaran terhadap Catuan Tebangan Tahunan (CTT) ini dan saya ada rekod yang jelas di sini. Sebagai contohnya, dalam tahun 2019, CTT yang diluluskan 43,299 hektar tetapi yang diusaha hasil hanya 10,949 hektar. Itu untuk tahun 2019. Tahun 2020, CTT yang
diluluskan lebih rendah dari tahun sebelumnya 39,354 hektar tetapi yang diusaha hasil, hanya 22,931. Ini menunjukkan apa Tuan Yang di-Pertua? Ini menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam memastikan segala keputusan yang dibuat itu dipatuhi oleh negeri- negeri dan the Federal Government is serious about this. Jadi, untuk itu Tuan Yang di-Pertua, saya menerima baik cadangan Ketua Pembangkang supaya kerajaan lebih mempunyai political will untuk menangani masalah- masalah ini. Akan tetapi ia nya perlu ditangani dengan begitu tekun, dengan kerjasama semua pihak, sama ada kerajaan, pengusaha hasil, kontraktor, syarikat-syarikat swasta dan sebagainya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Jerai
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli atas lawatan turun ke lapangan ke Gunung Jerai ataupun di Parlimen Jerai baru ini yang ditimpa musibah kepala air. Soalan saya ialah apakah tindakan Kementerian untuk melestarikan hutan di sepanjang jalan menuju ke puncak Gunung Jerai kerana kesan kepala air baru-baru ini, pokok-pokok berskala balak masih dalam keadaan tidak selamat. Sekian.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Menteri
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Jerai, Terima kasih Tuan Yang di-Pertua mengenai apa yang kita amat duka cita iaitu berlakunya satu bencana. This is an act of God, satu takdir Allah SWT iaitu berlakunya...
Masalah nature ini, jangan nak blame God, kadang-kadang masalah manusia. Ini pun dahulu begitu, semasa Mantan Menteri Kerja Raya dahulu, apabila ada kerobohan, act of God. How do you know it is an act of God apabila manusia itu yang rakus merosakkan balak.
Ini adalah... terima kasih Yang Berhormat Port Dickson, dia kacau saya pagi ini.
Minta jawab berkenaan balak sama.
Pembalakan sebagai mana yang disebut oleh Yang Berhormat Port Dickson tadi, kita tahu bahawa kawasan Jerai ini adalah satu kawasan yang telah diisytiharkan sebagai National Geopark of Jerai pada tahun 2018 sempena Pertabalan Sultan Kedah sekarang ini. Atas status sebagai National Geopark, aktiviti pembalakan memang tidak dijalankan di kawasan itu. Saya nak sebutkan secara jelas bahawa Jerai ini terletak dalam Hutan Simpan Gunung Jerai yang merupakan kawasan perlindungan - kawasan tadahan hutan. Namun demikian, saya dapat pengesahan daripada Kerajaan Negeri Kedah bahawa sejak kebelakangan ini terutamanya satu tahun yang kemudian, ianya telah diputuskan untuk tidak diberikan lesen untuk usaha hasil walaupun, saya hendak sebut dalam Dewan ini, sejak daripada tahun 2014 sehingga tahun 2019 sebanyak 25,000 hektar telah diluluskan lesen untuk membalak di dalam kawasan HSK Negeri Kedah. Saya turun sendiri Yang Berhormat Port Dickson ke tempat itu. Saya melihat pokok-pokok yang dibawa turun oleh kepala air ini bersekali dengan akar-akar nya, air dan akar. Air itu bawa akar menunjukkan tidak ada pembalakan di kawasan Jerai ini
Inilah disebutkan takdir Allah SWT, kena bergantung juga kepada Allah, act of God itu. Jadi oleh itu, sekali lagi saya menyatakan bahawa KETSA melalui Jabatan Perhutanan akan melaksanakan program restorasi kawasan hutan tersorok termasuklah di tempat Jerai Geopark ini, RM75 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek dan proses restorasi ini. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan.
Banyak lagi soalan, maaf. Saya menjemput Dato’ Hajah Azizah binti Mohd Dun untuk soalan yang seterusnya.
3. Dato' Hajah Azizah binti Mohd Dun [Beaufort] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan, adakah langkah proaktif yang diambil untuk membendung penyalahgunaan media sosial khususnya aplikasi Whatsapp dan Facebook yang mencetuskan suasana kegusaran dalam kalangan orang ramai terutamanya berkaitan vaksin COVID-19.
Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Beaufort yang telah mengemukakan soalan ini. Soalan Yang Berhormat menandakan keprihatinan rakyat dan masyarakat tentang gejala penyalahgunaan media sosial yang kerap berlaku pada masa ini. Kementerian telah mengambil beberapa langkah untuk membendung, mencegah dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengatasi masalah ini. Namun begitu, kementerian percaya keprihatinan rakyat dan masyarakat merupakan perkara terpenting dan ini perlu dilaksanakan melalui program pendidikan dan kesedaran yang berterusan. Sebagai contoh, sebagai strategi membendung atau mendidik masyarakat pihak kementerian melalui MCMC telah melancarkan kempen yang berjudul, ‘Tidak pasti jangan kongsi’. Satu lagi kempen, ‘Klik dengan bijak’ telah dijalankan dan mendapat sambutan yang agak baik dan turut dijayakan oleh agensi berita yang lain termasuk RTM, Bernama dan juga Jabatan Penerangan serta media elektronik dan media cetak yang lain. Kementerian juga melalui SKMM telah mengadakan program advokasi dengan penglibatan masyarakat sebagai contoh program yang dinamakan Malaysia ICT Volunteer telah dilaksanakan dan sepanjang tahun 2020, 83 program dilaksanakan dan pada tahun ini, sehingga kini 25 program telah dilaksanakan. Sementara itu kerjasama rapat dan berterusan dengan pihak penyedia khidmat media sosial atau social media service provider seperti Twitter, Facebook dan Google sedang diperkemas untuk mempertingkatkan peranan sedemikian. Juga untuk makluman Dewan yang mulia ini, satu pasukan rapid response team ataupun pasukan respons pantas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai berkemahiran daripada kementerian, MCMC dan Majlis Keselamatan Negara telah juga dibentuk. Sepanjang tahun 2020 sehingga sekarang, sebanyak 479 penafian-penafian berita palsu telah pun dapat dilaksanakan sementara pada tahun 2020 sebanyak 416 penafian yang telah dilaksanakan dan pada tahun ini sebanyak 63 penafian telah dilaksanakan. Selain daripada itu, diwujudkan juga portal Sebenarnya.My sebagai sumber untuk mendapatkan berita-berita yang lebih tepat dan alhamdulillah pada sepanjang tahun dari tahun 2020 hingga Julai 2021, portal ini mendapat 186 juta- layaran dengan 9.83 juta hits yang menunjukkan peningkatan yang amat tinggi sejak berlakunya penularan COVID-19. Demikian antara usaha-usaha yang terus dijalankan oleh kementerian untuk mengatasi masalah ini. Sementara itu penguatkuasaan sedang diberikan perhatian untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada khususnya seksyen 505 Kanun Keseksaan dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Untuk makluman, kementerian sedang meneliti lebih lanjut perkara ini untuk memastikan kawalan yang berkesan dapat dilaksanakan bagi mengawal penularan berita- berita tidak benar terutama di Whatsapp, Facebook dan juga saluran media yang lain. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan pertama.
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang diberikan. Saya mendengar dengan teliti apa yang disampaikan tadi, tahniah saya ucapkan.
Namun soalan tambahan saya, kita dapati bahawa ada segelintir rakyat Malaysia yang pada masa kini masih lagi terpengaruh oleh berita-berita yang tidak benar yang palsu ini menyebabkan ada di antara mereka yang masih belum menerima vaksin untuk membantu mereka dalam menghadapi COVID-19 ini. Saya ingin tahu, berapakah bilangan daripada apa yang telah dibuat tinjauan pengamal perubatan yang berdaftar yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan vaksin sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Apa tindakan yang dibuat oleh kementerian untuk memperbetulkan persepsi yang lahir disebabkan oleh berita-berita palsu ini melalui Whatsapp, Facebook, Telegram dan aplikasi yang lain. Adakah kementerian akan mengenal pasti bersama-sama dengan kementerian yang lain untuk memperkenalkan hukuman ataupun penalti yang lebih tinggi lagi memandangkan penyebaran fake news ini masih lagi berleluasa dan juga saya ucapkan tahniah di atas penubuhan Pasukan Respons Pantas (PRP), sejauh manakah keberkesanannya selepas PRP ini diwujudkan dalam menangkis berita palsu daripada terus disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat. Secara umumnya dapatlah saya nyatakan bahawa penyebaran berita palsu berkaitan dengan vaksin COVID-19 telah banyak berkurangan berbanding dengan di peringkat awal vaksin dan program vaccination diperkenalkan. Ini kita ucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana tahap kesedaran dan penerimaan program vaksinasi telah menjadi bukti bahawasanya penularan berita-berita sedemikian tidak lagi begitu berkesan. Namun begitu saya tidak menafikan bahawa masih ada termasuk di kalangan pengamal perubatan. Secara keseluruhannya kalau dilihat kepada kes-kes yang telah diuruskan misalnya sepanjang tahun sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020 sehingga bulan September 2021, pihak PDRM telah membuka sebanyak 307 Kertas Siasatan penyebaran berita palsu yang berkaitan dengan COVID- 19. Daripada jumlah tersebut kebanyakannya disiasat di bawah seksyen 505 Kanun Keseksaan dan daripada jumlah tersebut 163 telah pun diselesaikan, 37 kes dituduh di mahkamah sementara 114 kes berada dalam siasatan. Kalau dilihat daripada angka- angka itu menunjukkan kes-kes telah pun banyak diselesaikan, namun tidak dinafikan masih ada tetapi secara keseluruhannya penyebaran berita negatif tentang vaksin dan vaccination ini telah pun sangat banyak berkurangan dan kita mengucapkan terima kasih kepada masyarakat secara keseluruhannya. Ini adalah juga menjadi punca kepada kejayaan program vaccination yang sedang berjalan pada masa ini. Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Hulu Langat.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya meneliti jawapan Yang Berhormat Menteri. Kami juga mengikuti tentang tindakan-tindakan undang-undang kepada orang ramai ketika penyalahgunaan Facebook dan media sosial yang menyebarkan berita palsu dan berita yang mengelirukan tetapi kami tidak melihat tindakan yang dikenakan kepada Menteri-menteri yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan MITI, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains dan Teknologi terutama bila ada Menteri yang menulis dalam Facebook nya yang mengatakan bahawa dia telah tutup pintu hadapan tetapi ada yang buka pintu belakang. Ini sangat mengelirukan dan menakutkan orang ramai, Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri.
Yang Berhormat, sebenarnya undang-undang tidak membezakan sama ada seorang Menteri atau kalangan rakyat biasa.
Tinggal lagi mungkin ada perbezaan-perbezaan pendapat, mengelirukan bagi sesetengah orang, tidak pula mengelirukan kepada orang lain. Akan tetapi asasnya adalah sejauh manakah sesuatu tindakan itu melanggari undang-undang dan sekiranya siasatan menyatakan ia melanggari undang-undang, maka tidak ada sesiapa pun yang berada di atas daripada undang-undang. Sepertimana kita tahu daripada segi penguatkuasaan, kita lihat bagaimana Menteri-menteri termasuk saya pun didenda beberapa kali apabila melanggar SOP misalnya. Dua kali sekurang-kurangnya. Jadi, kerajaan dapat memberi jaminan bahawasanya dalam menguatkuasakan undang-undang, tidak ada yang membezakan sama ada seseorang itu Menteri ataupun tidak dan ia bergantung kepada penyiasatan dan kes-kes yang berkaitan. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih. Soalan seterusnya Yang Berhormat Segambut.
Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor empat.
4. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan [Segambut] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan statistik jumlah kanak-kanak yang telah menjadi anak yatim akibat COVID-19 dan langkah kementerian dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak ini mengikut pecahan mereka yang kehilangan ibu dan ayah, kehilangan kedua-duanya dan/atau kehilangan penjaga.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam keluarga Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon izin untuk menjawab pertanyaan daripada Yang Berhormat Segambut, Yang Berhormat Pandan bertarikh 23 September 2021, Yang Berhormat Balik Pulau bertarikh 5 Oktober 2021, Yang Berhormat Kemaman dan Yang Berhormat Merbok bertarikh 11 Oktober secara bersekali kerana pertanyaan-pertanyaan tersebut saling berkait dan merujuk kepada isu yang sama. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak yang telah kehilangan ibu dan ayah atau penjaga atau kedua-duanya disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan memerlukan pembelaan sewajarnya. Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga 13 September 2021. Seramai 4,422 orang murid sekolah di bawah KPM telah kehilangan ibu bapa, penjaga akibat COVID-19 serta menjadi anak yatim piatu akibat wabak COVID-19 sejak pandemik ini melanda negara. Sebanyak 154 orang murid merupakan yang kehilangan kedua-dua ibu dan juga ayah. Kementerian telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah bagi memberi bantuan serta sokongan kepada kanak-kanak seperti berikut. Pertama, pemberian bantuan kewangan bagi menampung keperluan hidup kanak-kanak dan anggota keluarga kanak-kanak. Jenis bantuan yang diberikan adalah tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak. Kerajaan semasa pengumuman Belanjawan Negara 2021 telah bersetuju menaikkan kadar bantuan bulanan di bawah Skim Bantuan Kanak-kanak dan Bantuan Pesakit Terlantar kendalian JKM bagi kanak- kanak yang berusia bawah tujuh tahun, kanak-kanak layak menerima sebanyak RM200 seorang manakala bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas akan memperoleh bantuan sebanyak RM150 bagi seorang kanak-kanak. Untuk pertama kalinya juga bagi kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga. Selain daripada itu, perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa atau penjaga juga diberikan. Bantuan kaunseling turut diberikan kepada anggota keluarga kanak-kanak sekiranya mereka memerlukan perkhidmatan tersebut. Antara perkhidmatan kaunseling yang
disediakan adalah, pertama intervensi psikologi dan kaunseling seperti kaunseling individu, kaunseling kelompok dan juga terapi psikologi. Kedua, intervensi krisis dan sokongan psikologi. Intervensi termasuk pengurusan tekanan dan juga trauma. Debriefing psychology, Ryff psychology dan psychology first aid. Ketiga, psiko pendidikan. Program psychospiritual serta art therapy. Kanak-kanak juga boleh ditempatkan di institusi JKM sekiranya kanak-kanak tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 17, Akta Kanak-kanak 2001. Kanak-kanak akan diambil perintah sementara melalui mahkamah dan diletakkan sama ada kepada keluarga ganti, orang yang layak dan sesuai (OYLS) atau institusi tempat selamat. Sebanyak tujuh buah institusi JKM telah ditetapkan mengikut zon untuk jagaan dan perlindungan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19. Bagi zon utara Rumah Kanak-kanak Pokok Sena, Kedah dan Taman Seri Puteri Batu Gajah, Perak. Institusi Taman Seri Puteri Cheras, Selangor dan Rumah Budak Lelaki (RBL), Melaka diletakkan sebagai zon tengah. Zon timur adalah RKK Mini Kelantan manakala bagi institusi di Sabah ialah Taman Seri Puteri Kota Kinabalu dan Sarawak, Taman Seri Puteri Kuching. Seterusnya, pihak kementerian juga menjalankan kerjasama dengan ahli komuniti setempat seperti ketua kampung, sukarelawan dan pasukan pelindung kanak-kanak serta komuniti Rukun Tetangga untuk memberi bantuan dan sokongan secara berterusan kepada kanak-kanak dan ahli keluarga kanak-kanak agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup. Sebagai makluman, kementerian telah melaksanakan pelantikan kepada 140 buah pasukan pelindung yang merangkumi 983 orang ahli pasukan pelindung kanak-kanak bagi sesi 2021 hingga 2023. Tuan Yang di-Pertua, tugas dan tanggungjawab dalam membantu kanak-kanak yang telah kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat COVID-19 bukan hanya terletak kepada JKM semata-mata. Penglibatan sumber pelbagai termasuk komuniti setempat amat penting untuk memberi galakan sokongan kepada anggota keluarga kanak-kanak agar mereka dapat meneruskan kehidupan. Terima kasih.
Terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan pertama.
Soalan tambahan pertama saya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kalau kita lihat data yang dibacakan oleh Yang Berhormat Menteri tadi adalah data September, 4,422 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Akan tetapi hanya satu bulan yang lepas Yang Berhormat Menteri sendiri mengatakan data yang diperolehi daripada KKM hanya berjumlah 33 orang kanak-kanak. Jadi bagaimana data boleh melonjak daripada 33 orang kepada 4,422 orang. Daripada dua kementerian yang berlainan dan ini menunjukkan soalan tambahan saya, apakah trigger system sedia ada ataupun yang telah dikenal pasti berikutan pandemik ini untuk memastikan semua kes kanak-kanak yang melibatkan kematian ibu bapa penjaga akibat COVID-19 ataupun tibi ataupun kemalangan jalan raya ataupun ibu bapa yang dipenjarakan, bagaimana kerjasama antara agensi ini boleh dibaiki dan pastikan data yang berlainan seperti ini tidak diberikan kepada orang awam. Data 33 melonjak kepada 4,422 dalam satu bulan. Okey, apakah trigger system ini dan bagaimanakah Yang Berhormat Menteri akan membantu kanak-kanak yang tidak ada document, stateless children. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ya kita mengakui bahawa apabila saya sebutkan tadi apabila berkaitan dengan hal kanak-kanak, ia juga bukan hanya di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi juga merentasi kementerian-kementerian lain. Oleh sebab itu di pihak kementerian, kita telah pun mengadakan satu perbincangan dan mesyuarat untuk integrasikan semua data yang ada bahawa dan ingin memaklumkan satu perbincangan
telah diadakan di antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, PDRM dan juga NADMA. Tadi menyebutkan bagaimana untuk mengintegrasikan data ini. Jadi yang saya sebutkan tadi, ia bukan sahaja data ini hanya di Kementerian Pendidikan yang kes-kes yang dirujuk kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi juga meliputi daripada kementerian-kementerian lain. Oleh sebab itu kita perlu untuk mengintegrasikan data-data ini supaya akan tidak ada kanak-kanak yang tercicir ataupun tertinggal dalam kita memberikan pembelaan kepada mereka.
Tuan Yang di-Pertua, soalan saya, apakah trigger system.
Sekejap, sekejap. Sorry, same question, isn’t it?
Not, ya soalan saya apakah trigger system? Tadi Yang Berhormat Menteri hanya jawab data.
Yang Berhormat Menteri? Ditanyakan apakah trigger systemnya. Yang Berhormat Menteri, ditanya penjelasan mengenai apakah trigger systemnya.
Soalan ini saya akan jawab secara bertulis sebab kita tengah mengemaskinikan data dan sistem.
Oleh sebab soalan ini dijawab banyak soalan, Yang Berhormat Pandan ada soalan? Tidak ada. Ada soalan tambahan sebelah sini?
Ada, ada. Tumpat.
Silakan Yang Berhormat Tumpat.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya mengucapkan tahniah kepada kementerian atas keprihatinan kerajaan dalam memberikan pelbagai bantuan sebagaimana yang kita dengar tadi dan menangani golongan kanak-kanak yang telah kehilangan tempat berteduh disebabkan oleh virus COVID-19. Soalan saya, apakah kementerian akan turut membuka bentuk bantuan tersebut kepada golongan selain daripada golongan kanak-kanak yang kehilangan tempat bergantung dan yang juga disebabkan oleh COVID-19.
Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih kepada Yang Berhormat. Ya, kes bila saya sebutkan ini, dia bukan hanya― yang tadi kita khusus kepada mereka yang kehilangan ibu, bapa, penjaga akibat COVID-19 yang memerlukan bantuan. Akan tetapi, ia tidak hanya fokus kepada mereka yang terjejas akibat COVID sahaja. Ia terbuka kepada semua kanak-kanak yang memerlukan bantuan yang menepati kriteria-kriteria yang telah kita tetapkan. Kita ada bantuan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, malah daripada segi kaunseling dan juga bantuan-bantuan lain juga ada kita sediakan untuk kanak-kanak. Termasuk juga baru-baru ini apabila kita turun ke bawah melalui Bakul Prihatin Negara ini, ia bukan sekadar hanya bakul. Apabila kita sampai ke rumah, kita lihat ada keperluan-keperluan lain yang diperlukan oleh keluarga tersebut yang memerlukan intervensi daripada pihak kementerian. Terima kasih.
Terbalik sikit, Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan soalan saya itu. Jawapan Yang Berhormat Menteri tadi berkenaan bantuan kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa. Soalan saya ialah apakah bantuan tersebut turut dikembangkan kepada mereka yang bukan kanak-kanak, mungkin ibu bapa yang kehilangan anak yang memberi sumber pendapatan dan sebagainya? Mereka ini juga memerlukan. Jadi, apakah kebajikan ataupun bantuan yang sama boleh
diberikan kepada mereka ini? Bukan kanak-kanak tetapi orang tua yang hilang anak yang memberikan sumber pendapatan dan sebagainya.
Bantuan-bantuan di bawah Jabatan Kebajikan itu semua kita teruskan tidak kira sama ada dia menghadapi COVID ataupun tidak. Ia bukan hanya kanak-kanak, kita juga ada bantuan kepada keluarga miskin, warga emas yang terlantar, pesakit kronik dan sebagainya. Jadi bila kita sampaikan kepada bantuan kanak-kanak, sebagai contoh, kita berikan atas nama penjaga ataupun ibu ataupun ayah dia. Jadi, itu juga sebenarnya digunakan untuk membantu mereka untuk menyara kehidupan kanak-kanak tersebut. Kita juga berikan juga bantuan kaunseling. Kaunseling itu bukan hanya untuk kanak-kanak, ia kepada seluruh termasuk juga penjaga. Kita faham ada juga di kalangan penjaga ataupun mungkin ibu yang kehilangan suami yang menjadi punca pendapatan kepada keluarga dan perlu menyara keluarga. Jadi bantuan kaunseling itu bukan hanya kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada orang dewasa.
5. Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong [Hulu Rajang] minta Menteri Kewangan menyatakan sekiranya pihak kementerian bercadang untuk: (a) memberi perkhidmatan bank secara tetap di Sungai Asap; dan (b) menambah bilangan mesin ATM di Pekan Belaga.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ahli Yang Berhormat Hulu Rajang. Untuk makluman Dewan yang mulia ini dan sebagaimana Yang Berhormat Hulu Rajang sedia maklum, pada masa ini terdapat sebuah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan sebuah ejen BSN yang menyediakan perkhidmatan perbankan asas kepada penduduk di sekitar Mukim Belaga, Sarawak. Di Mukim Sungai Asap pula, pada masa ini terdapat sebuah ejen perbankan Maybank yang menawar perkhidmatan perbankan asas melalui pihak ketiga iaitu pejabat pos. Tuan Yang di-Pertua, dalam usaha meningkatkan rangkuman kewangan dan menambah baik penyediaan kemudahan akses perkhidmatan kewangan, Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan industri perbankan menggunakan pelbagai saluran atau strategi untuk memastikan orang ramai dapat mengakses perkhidmatan perbankan asas dengan mudah. Bagi menambah kemudahan asas perkhidmatan kewangan di kawasan luar bandar dan pedalaman, Kerajaan Negeri Sarawak bekerjasama dengan Bank Negara, Bank Rakyat, Agro Bank, BSN dan beberapa institusi perbankan kewangan yang lain bagi menyediakan perkhidmatan bank bergerak yang dilengkapi dengan mesin ATM MEPS ke kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Untuk makluman Yang Berhormat, bermula Julai 2021, BSN dan Bank Rakyat telah memulakan operasi bank bergerak ke Mukim Sungai Asap masing-masing pada hari Selasa dan Rabu. Tuan Yang di-Pertua, secara umumnya, faktor yang diambil kira oleh sesebuah institusi perbankan dalam membuat penilaian bagi pembukaan cawangan ataupun pemilihan lokasi untuk menempatkan mesin pengeluar ATM dan mesin deposit wang (CDM) antara lain ialah: (i) kesesuaian lokasi; (ii) infrastruktur dan persekitaran; dan (iii) keperluan dan permintaan perkhidmatan kewangan seiring dengan pembangunan setempat. Di samping itu, Tuan Yang di-Pertua, institusi kewangan juga memantau tahap penggunaan perkhidmatan perbankan melalui ejen bank oleh penduduk setempat sebagai salah satu justifikasi bagi penambahan kemudahan kewangan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan. Yang Berhormat Timbalan Menteri, Belaga dan Asap populasinya kurang lebih 50,000 penduduk. Di Belaga, betul, kita ada BSN tetapi hanya satu mesin yang mengeluarkan duit. Saya ingat saya minta tambahan satu lagi oleh kerana penduduk di Belaga, mereka datang dari jauh, kadang-kadang mesin tersebut pun habis duit. Di Sungai Asap, memang betul, satu minggu dua kali BSN bank bergerak tapi mereka kena beratur, Tuan Yang di-Pertua. Ini gambar saya tunjukkan, beratur. [Sambil menunjukkan sekeping gambar] Kesian dari pagi sampai petang. So, saya minta kalau boleh sementara ini, saya minta MoF berikan mesin ATM dan juga pengeluar duit sementara untuk menubuhkan satu cawangan. Kalau betul, saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri sendiri bersama saya untuk turun ke padang untuk melihat keadaan sebenarnya sebagai 100 hari kayu pengukur kepada kerajaan Keluarga Malaysia ini supaya perkara ini dapat kita atasi. Saya tidak mahu ini setiap kali soalan saya diagihkan tetapi bank-bank yang kita minta cawangan itu mesti ditetapkan dan dibuatkan di Daerah Sungai Asap. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Hulu Rajang berkaitan soalan tambahan. Saya akui jarak di antara Sungai Asap dengan Pekan Belaga itu adalah satu jarak yang panjang, hampir 90 kilometer, mengambil masa lebih kurang hampir dua jam. Itu sebabnya, Yang Berhormat, kita mesti melihat secara keseluruhan untuk kita mewujudkan sesuatu kemudahan di kawasan setempat berdasarkan kepada populasi. Akan tetapi, persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat berkaitan dengan orang terpaksa beratur. Untuk makluman Yang Berhormat, sebelum ini bank bergerak di Pekan Sungai Asap, kita gunakan Dewan Masyarakat Sungai Asap. Akan tetapi, dewan tersebut, untuk makluman Yang Berhormat, digunakan untuk pusat kuarantin. Itu sebabnya kita terpaksa berpindah ke Pasar Pagi di kawasan Sungai Asap. Walau bagaimanapun, saya telah mengarahkan Bank Simpanan Nasional untuk menambahkan khemah dan menyediakan kemudahan supaya mereka tidak lagi, Tuan Yang di-Pertua, beratur panjang. Berkaitan pelawaan Yang Berhormat untuk ke Pekan Belaga, insya-Allah, Yang Berhormat, saya akan turun ke sana pada 8 Oktober, bulan hadapan, untuk melihat sendiri berkaitan penambahan ATM mesin di Pekan Belaga.
Terima kasih, terima kasih. Please come.
Minta dari Kalabakan.
Yang Berhormat Kalabakan. Ya, silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya meneliti jawapan Yang Berhormat Menteri tadi dan persoalan yang berlaku di Sarawak ini mungkin berlaku juga di Sabah dan mungkin lebih teruk dari Sarawak sebab di kawasan Parlimen Kalabakan tidak ada satu pun bank yang diwujudkan di sana. Kita bertumpu ke Bandar Tawau dan kita ada ejen-ejen bank yang masyarakat selalu mengeluh. Ejen-ejen bank dari BSN yang selalu mengeluh, stok bekalan cashnya pun selalu habis. Jadi saya mahu tanya dengan Yang Berhormat Timbalan Menteri, adakah kita juga di Parlimen Kalakaban yang ada Pulau Sebatik di sana perlukan satu cawangan BSN diwujudkan atau di Pekan Kalabakan yang selama ini kita tunggu-tunggu perwujudannya? Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kalabakan. Untuk makluman Dewan yang mulia, penggunaan ejen bank sebenarnya mirip kepada bank.
Saya tahu keperluan Yang Berhormat Kalabakan untuk mewujudkan bank di kawasan Yang Berhormat sebutkan tadi. Cumanya, untuk makluman Dewan yang mulia ini, melalui perbankan ejen ini, mereka turut juga dapat melakukan transaksi yang sama sepertimana dengan bank seperti mereka dapat menunaikan bantuan kewangan, mereka boleh membuat deposit tunai, pemindahan dana ataupun membuat pembayaran utiliti. Walau bagaimanapun, pandangan Yang Berhormat Kalabakan untuk mewujudkan di Pekan Kalakaban, kita akan pertimbangkan pada masa akan datang dan insya-Allah, sekiranya ada kesempatan masa, saya juga akan ke Kalabakan. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih. Soalan seterusnya.
Tuan Yang di-Pertua, satu lagi soalan tambahan. Mohon keizinan.
Maaf. Dua sahaja. Banyak lagi soalan, Yang Berhormat. Maaf ya.
Soalan penting.
Maaf, maaf.
6. Tuan Tan Kok Wai [Cheras] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan sejauh manakah perhatian telah diberikan kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh industri pelancongan dan sama ada strategi berkesan telah dilaksanakan untuk menyelamatkan industri ini yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya meneruskan jawapan, izinkan saya untuk menjawab soalan oleh Yang Berhormat Cheras pada hari ini bersekali dengan 12 soalan lain kerana ia menyentuh perkara yang sama iaitu soalan nombor 47 oleh Yang Berhormat Jerlun, soalan nombor 59 oleh Yang Berhormat Lahat Datu dan soalan nombor 69 oleh Yang Berhormat Balik Pulau bertarikh 20 September, soalan nombor 1 oleh Yang Berhormat Jerantut dan soalan nombor 19 oleh Yang Berhormat Dungun bertarikh 23 September. Soalan nombor 9 oleh Yang Berhormat Libaran, soalan nombor 66 oleh Yang Berhormat Tangga Batu dan soalan nombor 56 oleh Yang Berhormat Taiping bertarikh 29 September, soalan nombor 1 oleh Yang Berhormat Parit, soalan nombor 29 oleh Yang Berhormat Kinabatangan dan soalan nombor 70 oleh Yang Berhormat Teluk Intan bertarikh 5 Oktober serta soalan nombor 12 oleh Yang Berhormat Hulu Selangor bertarikh 11 Oktober. Tuan Yang di-Pertua, seperti Yang Berhormat sedia maklum, penularan wabak pandemik COVID-19 telah menjejaskan bukan sahaja ekonomi dan sektor pelancongan di Malaysia, malah di seluruh dunia. Sektor pelancongan bukan hanya meliputi hotel dan penerbangan sahaja. Rantaiannya juga adalah luas, termasuk sektor peruncitan, makanan dan minuman ataupun F&B, dengan izin. Acara perniagaan ataupun business event (BE) dan sebagainya. Sebagai industri yang berorientasikan mobiliti, pelancongan ialah salah satu sektor ekonomi yang paling teruk terkesan dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih, terutamanya dengan pelaksanaan tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia. Anggaran kerugian daripada pendapatan pelancongan pada tahun 2020 ialah RM135 bilion. Jumlah ini dianggar terus meningkat pada tahun 2021, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan PKP yang masih diteruskan. Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan kepayahan penggiat industri pelancongan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan seperti PEMERKASA dan PEMULIH. Antaranya ialah Geran Bantuan Khas secara one-off kepada penggiat-penggiat industri seperti syarikat pengendalian pelancongan berlesen dengan MOTAC, agen
MM2H, pemandu pelancong, pengendali inap desa di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia MOTAC, serta pengusaha spa dan pusat urutan kaki yang berdaftar dengan MOTAC. Antara contoh bantuan lain yang turut diberikan adalah seperti pelanjutan diskaun bil elektrik kepada penggiat industri, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengusaha hotel sehingga 31 Disember 2021 dan Skim Subsidi Upah. Selain itu pula, MOTAC sendiri turut telah melaksanakan inisiatif-inisiatif bukan kewangan untuk membantu syarikat pengendali pelancongan. Antaranya dengan memberi beberapa kelonggaran kepada syarikat pengendali pelancongan bagi membantu penggiat industri pelancongan seperti kelonggaran berkaitan kompaun, pengecualian fee kepada pengusaha pelancongan dan kelonggaran syarat lesen kepada pengusaha pelancongan. Semua bantuan ini telah memberi manfaat kepada 5,340 buah syarikat pengendali pelancongan yang berlesen di bawah MOTAC. Sebagai langkah untuk kembali bangkit, MOTAC melalui beberapa siri konsultasi bersama penggiat industri pelancongan telah membangunkan Pelan Pemulihan Pelancongan (PPP) dalam mencari keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan kesihatan awam. PPP merupakan salah satu usaha berterusan MOTAC dalam mengembalikan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan selain berusaha untuk memastikan sektor pelancongan negara mampu menjana semula pendapatan secara berterusan selepas pembukaan sektor ini secara berperingkat kelak.
(i) merancakkan semula pelancongan domestik; (ii) membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat tempatan, termasuk petugas-petugas barisan hadapan sektor pelancongan, seni dan budaya di seluruh negara dalam usaha mencapai imuniti kelompok di destinasi-destinasi pelancongan popular negara; (iii) mempergiatkan Kempen Promosi Rindu Melancong, Jom Vaksin Dulu dalam menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendaftar di bawah Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan; (iv) mengembalikan keyakinan awam untuk melancong dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang selamat, bersih dan sihat. Ini turut dilaksanakan melalui usaha sama MOTAC dengan penggiat industri seperti Program Pensijilan Clean & Safe Malaysia, Program Pensijilan Travel Safe and MySafe BE Planner; (v) memberi keutamaan kepada digitalisasi proses perniagaan menerusi aplikasi teknologi tanpa sentuhan yang selamat dan lancar; (vi) meningkatkan kemahiran dan kapasiti penggiat industri menerusi Program Kemahiran Semula atau Reskilling and Upskilling yang berterusan; (vii) melonggarkan atau mempermudah peraturan dalam membantu penggiat industri yang terjejas; dan (viii) meneroka potensi membuka semula aktiviti pelancongan antarabangsa yang memfokuskan pada segmen produk pelancongan yang berpaksikan alam semula jadi, kawasan luar bandar dan budaya. Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan bermula 16 September 2021. Sekiranya berjaya, insya-Allah kita doakan ia akan berjaya. Lebih banyak gelembung pelancongan yang berpotensi akan diteruskan ke destinasi-destinasi peranginan lain seluruh negara seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman. Sekian, terima kasih.
Terima kasih. Apakah Yang Berhormat Menteri bersetuju dengan saya bahawa pelancongan domestik sahaja tidak berdaya tahan dalam
jangka masa panjang dan untuk menyelamatkan sektor-sektor pelancongan yang telah dihancurkan oleh wabak COVID-19? Apakah persiapan ataupun road map yang telah dirancang oleh kementerian untuk menarik kemasukan pelancong antarabangsa ke Malaysia apabila wabak mereda? Terima kasih.
Terima kasih atas soalan itu, Yang Berhormat. Memang pun kita ada perancangan, cuma kita hendak mulakan dengan- sebab itu Langkawi dipilih, Yang Berhormat. Pertama, Langkawi populasi ia memang besar. Selepas itu, ia fokus kepada ke tempat itu sahaja. Kedua, Langkawi juga mempunyai airport untuk antarabangsa, flights dari antarabangsa. Kita telah mengadakan beberapa perbincangan, bukan sahaja dengan MOTAC tetapi antara agensi. Oleh sebab itu Yang Berhormat, apabila Langkawi ini menjadi satu projek yang berjaya, kita akan membukakan interstate travel. Masa ini kita hanya membenarkan intrastate, insya-Allah interstate travel akan dibenarkan sedikit masa lagi. So, banyak negeri-negeri sudah mencapai tahap sampai ke fasa keempat. Jadi oleh sebab itu, untuk international memang saya bersetuju. Kalau hanya bergantung dengan domestik sahaja, kita tak dapat sustain, Yang Berhormat, dengan izin, ya. Akan tetapi insya-Allah dengan pembukaan international nanti yang mana kita telah menyusun atur apakah kriteria-kriterianya untuk kita membenarkan pelancong antarabangsa untuk datang. Oleh sebab itu yang dijadikan rintis juga ialah Langkawi dahulu kerana kita akan mengadakan travel bubble itu dengan Langkawi. Jadi, apabila datang misalnya daripada luar negara, pelancong ini akan datang pergi ke Langkawi dahulu dan mesti lengkap dua dos vaksin dan ada juga kriteria-kriteria yang lain, Yang Berhormat ya. Jadi, saya rasa itu mencukupi untuk setakat ini. Kalau hendak detail lagi, insya-Allah kita akan bantu lagi bagi jawapan secara detail. Terima kasih
Yang Berhormat Baling.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Satu penjelasan yang begitu menyeluruh. Syabas dan tahniah kepada kementerian yang sudah berani mulakan dengan Langkawi. Insya-Allah kita doakan pelancongan di Langkawi ini akan berjaya. Saya ingin menanyakan kepada Yang Berhormat Menteri berkaitan dengan apakah rancangan yang telah dibuat khususnya di kawasan luar bandar. Contohnya, kami di Baling kita ada kawasan Ulu Legong, kolam air panas. Soalan saya, kemungkinan ramai di antara rakyat di kawasan saya tidak berdaftar dengan MOTAC. Jadi, apakah sumbangan untuk mereka khususnya dalam konteks mereka yang pendapatan utama mereka adalah homestay. Dan mak long-mak long, makcik-makcik jual gerai-gerai kuih di tepi kampung persekitaran kawasan itu yang begitu lama lebih 40 tahun mereka mencari makan di situ. Hari ini terkesan. Justeru, saya hendak bertanyakan kepada Menteri, adakah rancangan untuk bantuan outright geran atau apa-apa bantuan kepada pemilik-pemilik homestay dan makcik jual kuih di kawasan Ulu Legong, spesifiknya di kawasan Parlimen saya di Baling. Jadi, kalau ada saya jemput Yang Berhormat Menteri datang melawat ke Baling. Saya tunggu Yang Berhormat untuk tunjukkan kepada Yang Berhormat Menteri di mana mereka terletak. Untuk makluman Yang Berhormat Menteri juga, semua mereka telah selesai dua vaksin. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Baling. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya homestay ini kebanyakan mereka yang sudah berdaftar dengan MOTAC dan memang sudah pun menerima geran daripada kita, ada yang one of bantuan kita. Saya hendak menjawab yang pertama dahulu mengenai produk-produk di luar bandar ini. Sebenarnya masa COVID-19 ini lah kita melihat bagaimana produk di luar bandar begitu banyak sekali yang tidak dieksploitasi ataupun di capitalized oleh kita. Jadi, inilah peluangnya Yang Berhormat untuk mengeluarkan hidden gem ini dengan izin, sebab banyak yang harus kita promosikan dalam negara kita. Mengenai mereka yang
tidak berdaftar, homestay yang tidak berdaftar dengan MOTAC, silalah hubungi kita untuk mendaftar. Oleh sebab itu satu jemputan tadi insya-Allah boleh saya pergi. Sebenarnya jemputan ini banyak yang belum ditunaikan kerana kita tidak dibenarkan bergerak untuk interstate tetapi insya-Allah kalau ada nanti bolehlah Yang Berhormat maklumkan kepada kita supaya kita dapat susun atur kita punya agenda itu. Insya-Allah program untuk pelancongan, untuk luar bandar adalah satu produk yang banyak harus kita promosikan dan sebaiknya menjadi satu produk internasional juga nanti. Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Oleh sebab Yang Berhormat Menteri menjawab 12 soalan, saya benarkan lagi satu soalan tambahan. Yang Berhormat Muar tadi ya?
Terima kasih. Yang Berhormat Menteri, saya rasa gelembung di Langkawi itu adalah penambahbaikan yang sangat baik. Cuma ada dua perkara yang saya hendak tekankan. Saya berharap bahawa gelembung-gelembung lain dapat dipercepatkan kerana dua sebab. Pertama, kita tidak mahu ada kesesakan yang tertumpu hanya di satu kawasan. Kalau boleh tolong percepatkan pembukaan gelembung-gelembung yang lain. Kedua juga ia tidak boleh hanya diterhadkan di kawasan pulau-pulau sahaja. Terdapat banyak kawasan lain di Muar, Kota Tinggi yang juga patut diberikan peluang yang sewajarnya. Di Muar buat masa ini kebanyakan hotel-hotel, hostel desa, ecotourism semua terpaksa ditutup dan sudah hendak gulung tikar. Saya berharap nanti dalam tempoh masa sebulan, dua bulan ini situasi yang teramat kritikal dan saya berharap Yang Berhormat Menteri sangat prihatin dapat bantu juga sektor-sektor yang tidak fokus di kawasan pulau. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Muar di atas soalan tersebut kerana memberi peluang kepada saya juga untuk menjelaskan di sini kerana untuk makluman semua di dalam Dewan yang mulia ini. Sebenarnya hotel-hotel ataupun destinasi-destinasi sama ada pulau ataupun mainland mereka dibenarkan membuka destinasi mereka. Bukan untuk orang luar daripada negeri. Ia hanya untuk intrastate. Namun begitu, insya-Allah kita akan berbincang dalam dua tiga hari ini untuk membuka interstate. Bila interstate itu dibuka, maka orang luar boleh masuk juga. Kita telah senaraikan nama-nama destinasi-destinasi bukan sahaja pulau termasuk mainland itu macam Genting, Cameron Highland, Fraser’s Hill dan juga apa-apa lagi destinasi yang boleh menarik minat orang untuk bergerak. Sebab pelancongan is all about mobility dengan izin. Apabila mereka bergerak maka ekonomi kita juga boleh meningkat. Itu yang kita hendak. Pada masa yang sama hidden agenda kita adalah untuk membantu mereka yang terjejas, terkesan, mereka yang bekerja dengan sektor ini. Ianya amat meluas sekali. Maka, sama-samalah kita membantu keluarga-keluarga yang terkesan yang tidak dapat pendapatan. So anyway, thank you for that question kerana memberi peluang kepada saya untuk menjelaskan. Insya-Allah, it will be within these few days days dengan izin kita akan membincangkan mengenai interstate. Terima kasih.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Tuan Sabri bin Azit.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan saya nombor tujuh.
7. Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan kriteria utama pemilihan guru seramai 18 ribu orang dan nyatakan keperluan sebenar kekosongan guru di seluruh negara.
Tuan Yang di-Pertua, pada 20 Jun 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan PPP Gred
DG41 secara one-off bagi mengisi kekosongan guru di sekolah. Urusan pengambilan PPP ini adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan SPP selaku pihak berkuasa melantik. Dari segi kriteria pemilihan, keutamaan akan diberikan kepada graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan daripada Universiti Awam (UA), Universiti Swasta dan juga universiti luar negara untuk dilantik secara tetap. Selain daripada itu, calon juga perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, memenuhi padanan kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temu duga SPP. Temu duga tersebut menilai kompetensi umum seperti sikap, penampilan diri, pengetahuan am dan kompetensi fungsional seperti kandungan mata pelajaran dan pedagogi. Sekiranya bilangan calon yang berjaya dilantik dalam kalangan graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan masih belum mencukupi, maka SPP akan melaksanakan kaedah lantikan secara contract of service (COS) dalam kalangan calon-calon yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan data sehingga 19 September 2021, terdapat 21,564 kekosongan guru di sekolah KPM seluruh negara. Dengan mengambil kira pengambilan one-off tersebut, baki kekosongan 2,862 akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh SPP. KPM yakin dengan pengambilan one-off ini perkara berkaitan kekurangan guru yang telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya akan dapat diselesaikan. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama.
Terima kasih atau jawapan. Saya ingin merujuk kepada data terkini sistem pertukaran guru. Setakat 19 September 2021 menunjukkan seramai 6,621 orang guru yang memohon masuk ke negeri tertentu. Seramai 7,499 orang guru memohon untuk keluar dari negeri tertentu. Apakah strategi KPM bagi memastikan penempatan 18,000 orang guru baharu ini selari dengan permohonan pertukaran guru pada sesi semasa dan sekali gus dapat menyelesaikan masalah guru duka lara yang sedang merayu agar suara mereka turut diberi perhatian? Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, perkara berkaitan pertukaran guru ini adalah satu perkara yang telah menjadi isu di peringkat kementerian dan seluruh negara untuk satu tempoh yang panjang. Maka di peringkat kementerian, kami sedang merangka satu perancangan untuk melihat bagaimanakah kita dapat melaksanakan pertukaran guru ini dengan pendekatan yang lebih menyeluruh. Insya-Allah dalam tempoh terdekat, kita akan keluarkan satu garis panduan baharu, surat pekeliling ikhtisas menjelaskan berkaitan pertukaran guru bagi menggantikan surat pekeliling ikhtisas tahun 1975. Jadi, insya-Allah kita susun balik, kita akan lihat balik pertukaran guru dan seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat tadi kita akan ambil kira dalam kemasukan 18,000 yang baharu ini kita akan jajarkan dengan pertukaran yang dipohon.
Namun begitu, kita perlu pastikan bahawa sebarang pertukaran itu dibuat berdasarkan keperluan di setiap sekolah yang ada, terima kasih.
Ada yang lain? Saya bagi Yang Berhormat Tuaran pula, maaf Yang Berhormat Kalabakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk mendapatkan 18,000 orang guru-guru ini untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di pelbagai sekolah di seluruh negara, adakah kerajaan khususnya kementerian sedar bahawa apabila guru-guru yang dihantar ke sekolah yang berkenaan, guru yang dihantar itu adalah bukan guru yang mempunyai opsyen yang telah dilatih untuk opsyen tersebut. Adakah pihak kementerian sedar bahawa nanti guru-guru yang dihantar ini tidak menyelesaikan masalah? Oleh itu, adakah pihak kerajaan memikirkan supaya adanya
penglibatan daripada guru-guru besar, pengetua-pengetua dan juga PPD dalam proses ini. Dengan lain perkataan, adakah pihak kerajaan mahu supaya adanya desentralisasi daripada segi pengambilan guru-guru dan bukannya ditumpukan kepada kementerian dan juga pihak JPA? Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan opsyen mata pelajaran, ini merupakan salah satu perkara yang telah diteliti oleh pihak kementerian. Jika kita lihat, isu kekurangan guru ini berlaku kerana kita inginkan padanan satu opsyen ke mata pelajaran tertentu. Sedangkan apabila kita lihat kesemua keseluruhan degree ataupun keseluruhan ijazah yang dilaksanakan oleh mereka ini, sebenarnya terdapat opsyen-opsyen yang boleh diklusterkan. Jadi saya mengambil contoh Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Jika sebelum ini guru yang mempunyai ijazah pendidikan dalam RBT mengajar RBT itu menyebabkan bekalan untuk RBT itu terhad. Maka kita akan lihat bagaimanakah kita boleh mengambil guru-guru dalam kluster tersebut. Subjek-subjek lain yang berkaitan dengan RBT setelah kita kaji satu persatu, kita akan padankan. Ini dapat memastikan bahawa isu opsyen tadi kita dapat selesaikan. Kedua juga adalah isu berkaitan dengan opsyen di sekolah. Ini juga kita tahu bahawa telah berlarutan sekian lama di mana guru-guru mengajar opsyen yang bukan opsyen sewaktu mereka belajar di universiti dahulu. Untuk mengatasi perkara ini, kita sedang merangka satu panduan baharu bagi membolehkan guru yang telah mengajar opsyen tertentu walaupun bukan sama dengan opsyen sewaktu mereka menyiapkan ijazah mereka terlebih dahulu, boleh diambil kira pengalaman mereka bagi membolehkan mereka menambah satu lagi opsyen untuk membolehkan apabila berlakunya keperluan untuk opsyen-opsyen tertentu, kita mempunyai bekalan guru yang lebih ramai. Terima kasih.
Satu soalan lagi?
Satu soalan lagi Tuan Yang di- Pertua.
Maaf-maaf. Yang Berhormat Lumut sedang tunggu. Maaf ya, tidak ada masa sudah. Yang Berhormat Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli, soalan seterusnya.
8. Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Lumut] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan adakah kementerian ada menjalankan kajian berkenaan kesan pembelajaran online terhadap kualiti graduan dan kadar pengangguran sewaktu pandemik ini.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Lumut. Tuan Yang di-Pertua, seperti kita semua sedia maklum, pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian kini telah menjadi satu keperluan. Justeru itu, KPT melalui JPT dengan kerjasama MQA dan Majlis Ketua-ketua E-Pembelajaran IPT Malaysia sedang menjalankan kajian kualiti pengajaran dalam talian semasa pandemik COVID-19 di institusi pengajian tinggi Malaysia. Kajian ini mula dijalankan pada 15 November 2020 dan kita berada di peringkat akhir. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi kualiti pembelajaran dalam talian, keberkesanan serta kesediaan pelajar, tenaga pengajar dan IPT untuk meneruskan pelaksanaan pembelajaran dalam talian. Empat kategori responden yang utama adalah pelajar sendiri, tenaga pengajar, kakitangan sokongan institusi serta governance IPT. Daripada perspektif pelajar, kajian ini memfokuskan kepada kesediaan dan penerimaan pelajar terhadap PdP dalam talian. Bagi maksud itu, kajian tersebut mengukur
aspek tahap kesediaan pelajar menjalani pembelajaran kendiri, keberkesanan infrastruktur, komunikasi dalam talian serta kawalan diri dan motivasi pelajar. Sebahagian daripada dapatan awal kajian menunjukkan bahawa sebanyak 92.82 peratus IPT di Malaysia mempunyai dengan izin Learning Management System (LMS) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 62.2 peratus IPT membangunkan LMS secara sendiri dan yang selebihnya pula menggunakan perkhidmatan dari luar institusi. Berhubung kesan terhadap emosi pelajar, dapatan awal menunjukkan sebanyak 78.4 peratus pelajar tidak merasa tertekan dengan PdP dalam talian. Dapatan kajian ini akan digunakan oleh KPT untuk menghasilkan satu dengan izin, White Paper on the future of online learning in higher education dan ia bakal membantu institusi menambah baik pelaksanaan dan kualiti pembelajaran dalam talian. Ia dijangka akan terbitkan pada November 2021. Pada masa yang sama, kementerian dengan kerjasama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia juga telah menyiapkan satu kajian yang bertajuk “Kesan COVID-19 Terhadap Kebolehpasaran Graduan”. Di mana objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji kesan COVID-19 terhadap kebolehpasaran graduan serta mencadangkan tindakan intervensi bagi menangani isu ini. Skop kajian adalah termasuk menjalankan... [Tidak jelas] impak terhadap kesan pasaran untuk graduan sedia ada dan bakal graduan akibat pandemik dengan mewujudkan senario pasca COVID-19. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri atas penjelasan dan kita pun gembira ya. Sebanyak 70 peratus rasa okey dengan pembelajaran secara online ini, yang 22 peratus itu mungkin dengan sedikit pengubahsuaian mereka juga akan menjadi lebih selesa. Soalan saya, saya mengandaikan dengan feedback awal ini bahawa sistem pendidikan online ini akan berjaya. Akan melahirkan graduan yang baik, akan membolehkan mereka mengisi keperluan pasaran. Soalan saya, apakah dengan keupayaan ini kementerian ataupun kerajaan akan bersedia untuk mengkaji semula sistem pendidikan universiti dengan menjadikan pendidikan online ini sebagai cara yang utama, ketika itu kita akan dapat mengurang kos dan akan dapat meramaikan lagi pengambilan pelajar-pelajar kerana sistem ini membolehkannya. Oleh kerana kos pendidikan murah, lebih ramai orang yang berupaya untuk membiayai pendidikan mereka sendiri. Apakah ini akan dimasukkan ke dalam Kertas Putih yang bakal disediakan oleh kementerian? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Lumut. Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tambahan tadi. Tadi saya maklumkan dalam jawapan kepada soalan asal mengatakan bahawa kesan COVID-19 ini bukan hanya kepada semua sektor tetapi ia juga termasuk kepada sektor pendidikan. Apabila kita membuat kajian, didapati bahawa sebanyak 90.04 peratus institusi bersedia untuk meneruskan PdP secara dalam talian. Mengenai cadangan Yang Berhormat Lumut tadi, KPT baru-baru ini telah mengumumkan mengenai pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua universiti awam. Walau bagaimanapun, kajian mendalam akan dijalankan untuk melihat semula struktur yuran keseluruhan pengajian berdasarkan kepada dapatan positif terhadap kualiti PdP dalam talian yang dijalankan. PdP dalam talian ini, diharapkan dapat memberi fleksibiliti terhadap pengambilan pelajar mengikut kesesuaian program. Sudah semestinya fleksibiliti ini akan menampakkan atau meningkatkan pengambilan pelajar tersebut. Dapatan kajian ini sudah semestinya seperti cadangan Yang Berhormat Lumut tadi akan menjadi salah satu daripada input yang akan digunakan kepada kerangka ataupun kita merangka hala tuju pendidikan tinggi negara, pasca pandemik. Terima kasih banyak.
Terima kasih. Akhir sekali Yang Berhormat Jempol.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada awal bulan lalu, lambakan graduan menganggur telah meningkat pada tahun 2020 sebanyak 202,400 orang iaitu bersamaan dengan 4.4 peratus. Berbanding dengan pada tahun 2019, sebanyak 165,200 orang iaitu bersamaan dengan 3.9 peratus.
Ini menunjukkan bahawa pengangguran dari segi siswazah ini meningkat. Jadi apakah kemungkinan besar di mana peningkatan tahun 2021 akibat kesajagatan ekonomi negara – apakah langkah cadangan untuk menambah baik intervensi daripada kajian kesan COVID-19 terhadap kebolehpasaran graduan. Terima kasih
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Kita juga maklum mengenai perkara yang Yang Berhormat Jempol nyatakan tadi. Jadinya, dalam hubungan ini ada beberapa cadangan intervensi jangka pendek yang telah dicadangkan dan ada juga – Antara cadangan-cadangan intervensi yang kita hendak cadangkan ataupun yang telah dicadangkan adalah meningkatkan inisiatif dan program semasa untuk membantu graduan mencari pekerjaan dan memperkenalkan Skim Elaun Pencari Kerja Nasional dengan memberi tumpuan kepada graduan daripada keluarga B40 dan seterusnya kita juga bercadang ataupun antara cadangan intervensi adalah untuk meningkatkan promosi untuk melanjutkan pelajaran, memperkasakan program latihan industri serta memperkukuhkan dasar kerjasama industri dan juga penyelidikan. Ketiganya, meningkatkan gaji permulaan melalui pengenalan Indeks Upah Nasional yang sudah semestinya akan dapat meningkatkan produktiviti sistem upah. Sementara itu, bagi intervensi jangka panjang pula, di pihak KPT juga ada cadangan untuk menubuhkan satu pusat pekerjaan nasional seperti mana terdapat di UK iaitu Jobcentre Plus dan kita juga di KPT bercadang untuk melaksanakan keputusan dasar yang lebih baik melalui analisa data yang dibekalkan oleh pangkalan data pasaran graduan dan pasaran tenaga kerja nasional. Terima kasih.
Budi bicara 15 saat.
Masa sudah tamat.
Soalan yang teramat penting.
Satu lagi. Tuan Yang di-Pertua, Sabak Bernam
Maaf, maaf. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada hari ini. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat semua. [Sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Usul — Waktu Mesyuarat Dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan MesyuaratMotion
Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga jam 8.00 malam dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Selasa, 21 September 2021.”
Ada yang menyokong?
Saya sokong.
Terima kasih. Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Usul — Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan AgongMotion
Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah; “Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, demikian bunyinya: “Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa membuka Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas”. [15
Ahli-ahli Yang Berhormat, kita cuba hendak habiskan 32 orang pembahas hari ini. Jadi seorang saya beri 12 minit. Saya harap tidak ada yang lebih masa. Kerana sesiapa yang lebih masa itu, sebenarnya memakan masa rakan sejawat Yang Berhormat sendiri. Untuk memulakan saya mempersilakan Yang Berhormat Kuala Krai diikuti Yang Berhormat Langkawi. Yang Berhormat Kuala Krai, 12 minit.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberikan kesempatan kepada Kuala Krai untuk turut serta dalam perbahasan menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah pun berkenan merangkap menyampaikan Titah Istiadat Pembukaan Persidangan Parlimen Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14. Bersempena itu suka saya buka ucapan ini dengan petikan kisah daripada ayat 18 dan 19 Surah Naml [Membaca sepotong ayat Al-Quran] . Mafhumnya, “Maralah tentera angkatan itu hingga apabila mereka sampai ke Wadi Naml berkatalah seekor semut, “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing. Jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu sedang mereka tidak menyedari””. “Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata, “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh””. Tuan Yang di-Pertua, saya mulakan ucapkan saya dengan sebuah kisah yang mengibrah sebagai mutiara pesan daripada Surah Naml tentang bagaimana Raja Semut telah menasihati jelata rakyatnya supaya diam berlindung di sarang masing-masing agar tidak terpijak oleh tentera Nabi Sulaiman yang mungkin secara tidak sengaja akan memijak semut-semut tersebut. Ternyata kisah ini berpedomankan renungan yang menginsafi bagaimana sebuah kerajaan yang baik akan sentiasa berusaha sedaya dan secakna mungkin tatkala menerima teguran daripada rakyatnya. Begitu juga di sebaliknya demi toleransi serta kesepakatan kolektif. Tuan Yang di-Pertua, sebagai muara ucapan sekalung penghargaan ditakzimkan buat mantan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin di atas jasa dan khidmat yang sangat cemerlang sepanjang menjadi Perdana Menteri yang kelapan. Bagi Kuala Krai walaupun tempoh pemerintahan beliau agak singkat, namun kejayaan yang diraih terutama dalam ikhtiar dalam memerangi COVID-19 amat signifikan. Sesungguhnya di kesempatan ini Kuala Krai ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan. Saya yakin Yang Amat Berhormat Bera akan menggembleng segenap pengalaman yang ada untuk memulihkan kembali watan tercinta ini daripada kesengsaraan pandemik COVID-19 seterusnya merungkai buhul-buhul kemelut ekonomi yang terkesan dek wabak yang membuana. Tuan Yang di-Pertua, saya juga diingatkan bahawa peranan utama barisan hadapan menjadi perhatian saya. Komitmen serta kerja keras mereka secara berterusan tanpa mengenal penat lelah dan juga melewati sempadan waktu begitu saya kagumi khususnya dalam di kawasan Parlimen saya Kuala Krai. Bak madah pepatah ‘Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang’. Di Kuala Krai sendiri sebanyak 26 program outreach dengan izin outreach vaccination dalam tempoh tiga bulan telah dilaksanakan melalui kerjasama semua pihak termasuklah diadakan pada hari cuti. [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat] Makanya, dengan penuh kebanggaan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi sanjungan terima kasih kepada semua petugas terutamanya petugas Pejabat Kesihatan Daerah, Hospital Sultan Ismail Petra, polis, tentera, RELA, bomba, penghulu, sukarelawan Kraitiff, Pusat Khidmat ADUN, APM, MDKK, MDB, PPD, KESEDAR, KRT, Jabatan Amal, Ameerah, MyVac, MRA dan lain-lain sukarelawan. Moga-mogalah khidmat bakti yang tercurah diganjar sebesar-besar pahala daripada Allah SWT.
Kenyataan Ketua Pembangkang dalam Dewan yang mulia ini agak tersasar tanpa mendapat maklumat yang tepat dengan tanpa segan silu menyindir rakyat Kelantan antara negeri yang rendah peratusan penerima vaksin dikaitkan pula dengan negeri paling miskin. Lanjutan itu perlu saya tegaskan, sebagai Ketua Pembangkang wajarkah beliau menghambur sindiran yang sedemikian? Sepatutnya Ketua Pembangkang menyemak fakta dengan lebih mendalam dan memberikan solusi yang lebih baik jika maklumat yang didapati adalah benar terutamanya selepas MoU dimeterai dengan pihak kerajaan. Saya yakin pencapaian vaksinasi Kelantan sudah hampir mencapai sasaran yang ditetapkan. Namun, kerana 20 peratus penerima tinggal di Lembah Kelang dan lain-lain negeri, Lembah Kelang misalnya telah mencapai 106 peratus penerima vaksin. Untuk pengetahuan semua, semalam di Kelantan telah memulakan pemberian vaksin kepada pelajar berumur 16 dan juga 17 tahun. Di Kuala Krai sekitar 400 orang pelajar menerima suntikan semalam. Ini memberi makna, mereka yang berumur 18 tahun ke atas telah hampir mencapai tahap vaksinasi yang menyeluruh. Tuan Yang di-Pertua, pada 14 September baru-baru ini soalan lisan saya kepada Kementerian Kerja Raya berkaitan Jalan Dabung ke Jelawang. Dalam jawapan bertulis pihak kementerian menyatakan jalan tersebut adalah jalan negeri iaitu D29 dan bukannya Jalan Persekutuan, yang mana D29 adalah Jalan Jelawang ke Stong. Akibat itu saya telah menerima kecapan yang maha hebat di laman sosial. Namun begitu, saya yakin hentaman netizen ini adalah kerana mereka sayangkan Kuala Krai dan tentunya kepada Ahli Parlimennya. Kata mereka saya tidak cemat dalam mengemukakan soalan. Untuk pengetahuan pihak kementerian, Jalan Dabong ke Jelawang merupakan jalan Persekutuan. Pengesahan telah dibuat dengan terteranya batu penanda jalan bernombor 66 iaitu Jalan Jeli-Dabong-Sungai Sam. Soalan saya secara spesifik iaitu Jalan Dabong ke Jelawang walaupun tidak menyebut nombor 66 atau secara tepatnya FT066A. Semakan juga telah dibuat iaitu projek pembaikan cerun oleh JKR Kuala Krai di jalan ini yang baharu sahaja disiapkan iaitu pada 10 Ogos 2021.
Bertolak daripada perkara yang termaksud, saya mohon Kementerian Kerja Raya membetulkan kekeliruan ini. Perkara yang utama, yang lebih penting ialah memperbaiki segala kerosakan jalan tersebut dengan kadar yang segera, sebagai denda atas kekhilafan ini. Demi keselamatan pengguna khasnya para penduduk Dabong kerana kedudukan jalan yang beralun dan rosak sejak sekian lama. Tuan Yang di-Pertua, pengumuman kerajaan untuk membuka semula peluang perniagaan yang ditutup baru-baru ini menjadi khabar yang menyenangkan terutamanya kepada peniaga-peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Namun, dek kerana lama perniagaan mereka bungkam, kebanyakannya sudah kekeringan dan kehilangan modal untuk memulakan kembali perniagaan. Lebih parah, ada sesetengah daripada mereka terbeban sengsara oleh masalah-masalah hutang yang terus membelenggu seperti untuk melunaskan bayaran sewa premis, gajian pekerja, bil-bil utiliti dan sebagainya. Seiringan itu, saya menyeru kepada kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, agar perkara ini diperhalusi dengan sebaiknya. Geran dan bantuan harus diberikan, malah dipermudahkan supaya mereka dapat memulakan kembali perniagaan mereka. Di kawasan saya sendiri, ramai peniaga terpaksa gulung tikar kerana isu yang berbangkit ini. Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana di kawasan-kawasan lain, Kuala Krai juga mengalami gangguan rangkaian internet dan telefon yang amat teruk. Ini menyebabkan pembelajaran melalui PdPR tidak mencapai kualiti yang sepatutnya. Lebih 30 kawasan saya yang mengalami masalah utama. Kawasan-kawasan tersebut ialah antaranya Sungai Pas, Bukit Arang, Sungai Embak, Ulu Manah, Mial, Pasir Ira, Batu Jong, Gilat, Bukit Chengal, Taman Sri Nal, Kampung Buyong, Kampung Bahagia, Kampung Mambong, Kampung Aur Duri, Kampung Dusun Nyiur, Padang Sembilan, Lubuk Simpul, Bunut Saih, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Masjid Peria, Sungai Tias, Bukit Pacat, Cabang Gemas, Sungai Chepa, Kerela, Jenal, Slow Pak Long, Sungai Teku, Kandek, Biak, Mahligai, Selasa dan juga Pasir Berdengung.
Resmi orang Kelantan, kalau nama setiap kawasan yang disebut satu-persatu, ia bermakna sangat serius. Oleh itu, saya memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak segera menangani permasalahan ini. Saya memohon agar Projek JENDELA, yang telah diluluskan dalam belanjawan tahun ini dilaksanakan dengan segera. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menanyakan tentang berapakah jumlah menara baru, dan juga menara yang dinaik taraf yang telah dilaksanakan di Kuala Krai. Bilakah ia akan dibina? Berapakah yang telah siap dibina? Adakah termasuk kawasan-kawasan ataupun kampung yang saya sebutkan tadi? Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Kelantan. Melalui pengumumannya pada Khamis, 16 September 2021 yang lalu untuk membuka kembali masjid bagi Solat Jumaat dan juga solat lima waktu untuk jumlah 40 orang. Saya yakin, sedikit masa lagi masjid akan dibuka sepenuhnya, insya-Allah. Bersama-sama kita mendoakan dan apa yang penting, marilah kita sama-sama penuhkan masjid terlebih dahulu dengan solat lima waktu kerana bilangan 40 orang juga untuk melakukan solat lima waktu. Jika ianya penuh, ini adalah perkembangan yang cukup membanggakan kita, alhamdulillah. Tuan Yang di-Pertua, saya sarankan semua pihak untuk terus memberi perhatian dan serlahkan keprihatinan kerajaan kepada komuniti OKU. Banyak inisiatif terbaru telah diperkenalkan sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pemerintahan negara. Justeru, hal-hal berikut dicadangkan sebagai menyahut keprihatinan Kebawah Duli Tuanku, dalam Titah Pembukaan baru-baru ini. Pertama, memperkenalkan bantuan bulanan atau one-off kepada penjaga OKU yang berpendapatan lebih daripada RM 3,000. Untuk itu, had minima RM 3,000 bagi pendapatan penjaga OKU terlantar wajar dinaikkan. Kita harus insaf, penjagaan OKU terlantar ini memakan kos yang bukan sedikit. Kedua, memperkasakan individu OKU sesuai dengan saranan syariat. Lihat bagaimana penggiat OKU di Kelantan, mereka sangat aktif, bahkan amat berfungsi dalam masyarakat. Pihak kerajaan boleh memperkenalkan inisiatif Sukarelawan OKU, begitu juga inisiatif bertujuan mengetengahkan OKU yang cemerlang, mandiri dan hebat, ataupun ore kelate kato biso, wajar diperkenalkan oleh kerajaan. Seterusnya, usahakan program bagi merangsang masyarakat untuk lebih terbuka dan cakna kepada OKU. Tanpa usaha yang terancang, tidak mudah untuk masyarakat kita faham tentang OKU yang kini diwartakan dalam tujuh kategori. Usaha pemerkasaan masyarakat ini harus diberi perhatian, memandangkan Malaysia menerima pakai unjuran antarabangsa iaitu 15 peratus populasi terdiri daripada OKU. Dengan situasi semasa, terdapat 4.8 juta rakyat yang terdiri daripada OKU dalam unjuran ini. Seterusnya, mantapkan program perekonomian untuk OKU. Sememangnya banyak inisiatif yang diadakan oleh kerajaan untuk rakyat. Cuma, wajar untuk kita sama- sama muhasabah, sejauh mana inisiatif yang ada sesuai dan sampai kepada komuniti OKU. Suasana sebelum pandemik amat berbeza dengan suasana semasa. Terakhir dalam isu ini, bangunkan inisiatif membina sahsiah dan kerohanian. Suasana semasa amat meruntun keutuhan jiwa dalam menempuh hidup sehari-hari. Pelbagai institusi kebajikan, badan-badan bukan kerajaan wajar digembleng agar menjadi rakan strategik bagi tujuan ini. Usahakanlah agar OKU dan rakyat kita dibimbing dengan ajaran Islam bagi yang beragama Islam, dengan sebenar-benarnya. Terakhir, Tuan Yang di-Pertua ialah peranan media harus dipertingkatkan sepenuhnya bagi menangani serangan yang berterusan terutamanya di media sosial. Selain mengelirukan, ia juga menjadikan ketakutan yang tidak berasas kepada sebahagian rakyat. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia harus mempertingkatkan peranan media, sama ada media massa utama, media sosial ataupun media cetak.
Minta rumuskan yang Berhormat.
Ya, penggulungan Tuan Yang di-Pertua. Penerangan dan maklumat yang tepat dan jelas juga harus sampai kepada masyarakat di bawah. Saya berkeyakinan tinggi Menteri sekarang ini dan
pasukannya mampu menggalas tugas-tugas ini sebaiknya. Dengan demikian, saya ingin mencadangkan untuk memperbanyakkan program ilmiah dan keagamaan seperti program Malaysia Berzikir yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini. Saya yakin, program sebegini mampu memberi impak yang cukup besar dan mendidik masyarakat di bawah. Selain program khas, bacaan ayat suci al-Quran, doa perlu sentiasa dimainkan di media- media utama seperti televisyen dan radio. Sebagai penutup Tuan Yang di-Pertua, sebelum Kuala Krai mengundurkan diri, saya ingin sudahi dengan serangkap pantun sebagai menyahut seruan – Titah Tuanku: Bertegur sapa di atas perahu, Ke Kemubu beramah mesra, Bersama kita berganding bahu, Memacu usaha memulihkan negara. Akhirnya dengan ini, Kuala Krai dengan penuh takzim menyokong dan menjunjung kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih, Yang Berhormat Kuala Krai. Seterusnya, saya ingin menjemput Yang Berhormat Langkawi, kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Batang Lupar. Kemudian, Yang Berhormat Pasir Gudang dan Yang Berhormat Baling. Dipersilakan Yang Berhormat Langkawi. Masa 15 minit.
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Minta on mic, Yang Berhormat.
...Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Dalam masa yang sama, saya juga ingin memberi teguran kepada perlakuan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri. Saya ingin menyatakan, bahawa walaupun pelantikan ini tidak melanggar apa-apa undang-undang, tetapi ia tidak mengikut lunas-lunas demokrasi. Apa yang telah berlaku ialah orang yang ditolak oleh rakyat, sekarang ini menjadi kerajaan. Orang yang dipilih oleh rakyat, sekarang ini menjadi pembangkang. Ini menidakkan amalan demokrasi. Sepatutnya, rakyatlah yang akan memilih kerajaan dan bukan cara-cara lain diguna untuk menidakkan hak rakyat. Saya berharap, cara-cara ini tidak diamalkan pada masa-masa hadapan. Untuk ini, kita perlu mengadakan undang-undang yang melarang lompat-melompat. Namun demikian, ia tidaklah semudah itu, dengan hanya mengharamkan acara lompat-melompat ini kerana ada kalanya, apabila diadakan pilihan raya, tidak ada satu pun parti yang memperolehi cukup bilang untuk mendirikan kerajaan. Dalam keadaan yang sebegitu, adalah ada keperluan parti-parti lain juga bersama dengan parti yang mendapat jumlah yang terbesar supaya bilangan wakil rakyat dalam kerajaan melebihi separuh daripada bilangan kerusi dalam Dewan Rakyat. Perbuatan cantuman antara parti lain dengan parti yang terbesar, tidaklah sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai melompat, kalau ia dilakukan dengan cara yang tersusun mengikut aturan-aturan dan perlembagaan parti-parti berkenaan, iaitu keputusan hendaklah diambil semasa ada mesyuarat parti bahawa parti itu akan bersama dengan parti yang mendapat bilangan yang terbesar untuk mencukupi bilangan supaya mereka boleh mendirikan kerajaan.
Sebab itu kita tidak boleh semata-mata mengharamkan lompat-melompat tetapi sebaliknya menjelaskan waktu mana kita tafsirkan sesuatu itu sebagai melompat dan tidak dengan sewenang-wenangnya menuduh bahawa lompatan telah dilakukan. Juga kita dapati ada parti yang akan memecat ahli-ahlinya kerana sebab-sebab tertentu, tetapi ini bukanlah acara lompat daripada satu parti ke parti yang lain. Oleh sebab itu, soal lompat-melompat antara parti ini perlu dikaji dengan mendalam supaya ia membolehkan Dewan ini bergerak dengan licin tanpa gangguan oleh perbuatan mana- mana pihak daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat ini. Tuan Yang di-Pertua, sekarang ini kita lihat satu amalan yang agak— yang tidak diperuntukkan dalam perlembagaan. Kita dapati ramai daripada orang yang dilantik ke jawatan-jawatan tertentu yang juga tidak ada dalam perlembagaan dan apabila dilantik, diberi taraf Menteri. Tidak ada kriteria yang ditentukan bagaimana taraf Menteri ini diberikan kepada mana-mana jawatan tetapi yang kita tahu ialah apabila taraf Menteri diberi, maka dia akan mendapat segala kemudahan yang diberi kepada Menteri. Ini adalah sejenis sogokan juga kerana ia tumpu bukan kepada tugas yang hendak dilakukan tetapi sebaliknya dia menumpu kepada upahan yang akan didapati oleh orang yang diberi taraf Menteri. Saya mengaku, semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu, saya juga telah melantik orang yang berjawatan Menteri tetapi jawatan itu diberi kepada seorang yang sudah pun bersara daripada politik, sebabnya ialah tugas dan kepakarannya dalam bidang tertentu. Sepatutnya kita ada kriteria yang tertentu sebelum kita dapat lantik seseorang untuk mendapat taraf Menteri. Jika tidak, dia akan jadi seperti sogokan kepada penyokong-penyokong kerajaan. Ini harus ditamatkan dalam reformasi yang akan diadakan oleh kerajaan, yang disebut oleh kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, rakyat sekarang ini menderita, menderita amat sangat kerana mereka tidak dapat bekerja, tidak dapat berniaga, tidak ada pendapatan, kehilangan punca pendapatan mereka. Mereka tidak ada duit, tidak dapat makan pun. Sakit, dijangkiti COVID-19 disuruh kuarantin di rumah menjadi lebih teruk, tidak dapat bernafas, tidak ada oksigen semakin teruk dan akhirnya menemui maut. Jumlah pesakit baru meningkat, daripada ratusan meningkat kepada ribuan, belas ribuan dan puluh ribuan, yang meninggal dunia sudah sampai ratusan sehari. Ramai yang membunuh diri pun. Keadaan semakin teruk. Rakyat harap apabila ditukar kerajaan, tumpuan akan diberi kepada penderitaan mereka kepada wabak COVID-19 terutamanya. Akan tetapi apa yang kita lihat ialah tidak ada pertukaran kerajaan sama sekali. Kerajaan yang sama juga kembali menjadi kerajaan, hanya dengan menukar pemimpin tertentu sahaja. Ini tidak memberi harapan kepada rakyat kerana yang diutamakan oleh kerajaan ini ialah soal politik, soal kedudukan orang tertentu, soal memberi ganjaran kepada orang yang sebenarnya tidak melakukan apa-apa yang baik kepada negara. Oleh sebab itu, kita harap tumpuan kerajaan akan diberi kepada masalah penderitaan rakyat, masalah COVID-19 dan kita harap mesyuarat-mesyuarat yang diadakan tertumpu kepada bagaimana untuk menangani masalah penderitaan rakyat. Kita perlu mengadakan lebih banyak masalah untuk menangani wabak COVID-19 ini kerana sekali gus kalau ini dapat ditangani, masalah ekonomi juga dapat dipulihkan. Ini kerana ekonomi kita menurun ialah kerana COVID-19 melarang gerakan semua orang dalam menjalankan tugas-tugas mereka. Tuan Yang di-Pertua, kita dapati bahawa sementara kita bercakap berkenaan dengan undang-undang, kita patut patuh kepada undang-undang tetapi kita dapati bahawa ada kalanya undang-undang di tafsir sedemikian sehingga ia menidakkan keadilan. Kata pepatah Inggeris, justice delayed is justice denied, tetapi kita dapati kadang-kadang jenayah yang dilakukan bertahun-tahun dahulu tidak dikenakan hukuman yang sepatutnya dalam masa yang pendek. Sebaliknya ada pula pihak-pihak yang melakukan jenayah yang tidak serius tetapi tindakan diambil dengan amat segera sekali. Ini menunjukkan bahawa kita tidak
sebenarnya patuh kepada keadilan dalam undang-undang kita. Adalah penting bahawa kita tentukan keadilan berlaku sepanjang masa. Kita mempunyai banyak lapisan mahkamah tetapi kita tidak ambil kira satu mahkamah istimewa iaitu jawatan Attorney General ataupun pendakwa raya. Dia bukan sahaja melaksanakan undang-undang tetapi dia juga menjadi hakim apabila diklasifikasikan sesuatu kes itu sebagai tidak ada merit, maka dengan segera kes itu akan digugurkan. Kita lihat bagaimana seorang yang mempunyai 46 kes telah terlepas daripada semua 46 kes ini dengan dinyatakan oleh Attorney General bahawa tidak ada kes untuk dia menjawab. Sebaliknya ada satu Attorney General dahulu yang menyatakan bahawa Perdana Menteri pada ketika itu tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi selepas dia tidak jadi Perdana Menteri apabila dibawa ke mahkamah, dia didapati bersalah dan dihukum.
Ini menunjukkan bahawa jawatan Attorney General ini perlu disemak semula supaya kita asingkan peranannya dan ia tidak menjadi hakim dan juga pendakwa raya. Sepatutnya ia terhad kepada menjadi pendakwa raya sahaja dan tidak menjatuhkan hukum dengan berkata tidak ada kes untuk didakwa kepada si polan-si polan. Tuan Yang di-Pertua, kita dapati sekarang ini kerajaan boleh didirikan di waktu mana sekalipun tidak lagi dalam pilihan raya. Ada golongan-golongan yang mempunyai sebilangan daripada wakil rakyat boleh menjatuhkan kerajaan dengan kononnya menarik diri daripada menyokong kerajaan. Selepas itu apabila dijatuhkan kerajaan, maka kerajaan baru dipilih oleh orang yang sama dan dasar-dasar kerajaan tidak sedikit pun berubah. Harapan rakyat bahawa kerajaan yang baharu akan memberi pendekatan yang baharu untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka tidak berlaku kerana kerajaan yang mengganti ini adalah kerajaan yang lama juga. Bahkan ia lebih utamakan membayar budi kepada orang, pihak yang mendirikan kerajaan— menjatuhkan kerajaan lama dan mendirikan kerajaan mereka. Sekarang ini kita dapati bahawa dalam arena politik ini banyak perkara yang tidak bermoral yang berlaku kerana tafsiran-tafsiran undang-undang dibuat sesuka hati dengan tidak mematuhi kepada norma dan juga moral yang diterima oleh rakyat di negara kita ini. Akan tetapi apabila sesuatu itu berlaku, maka disalahkan Perdana Menteri 30 tahun dahulu segala-galanya dan aneka jenis hukuman dikenakan. Kalau dulu seorang yang mencuri tidak boleh bagi balik duit itu dan terlepas daripada hukuman tetapi sekarang ini kita dapati kalau seseorang pencuri dan memberi balik sebahagian daripada hasil pencuriannya maka dia boleh diberi kebebasan untuk belanja wang yang tidak dikembalikan kepada pihak yang tertentu.
Yang Berhormat masa dah tamat. Kalau boleh rumuskan.
Saya hendak habis dah Tuan Yang di-Pertua.
Baik. Terima kasih Yang Berhormat.
Saya harap kita berturut-turut pegang kepada the rule of law tetapi Mat Salleh juga berkata the law is an ass. Kalau kita ikut undang-undang yang dibuat secara tidak memikir dengan mendalam, hasilnya bukanlah keadilan tetapi ketidakadilan. Tuan Yang di-Pertua, saya harap kita kembali kepada demokrasi kerana demokrasi adalah jisim yang terbaik dalam pemerintahan mana-mana negara. Jika tidak, maka kita akan hasilkan kerajaan kuku besi, kerajaan diktator. Saya harap kita dalam Dewan ini dapat menumpukan kepada penderitaan rakyat dan pemulihan negara. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Langkawi. Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Batang Lupar, 12 minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Batang Lupar bukan kepalang, Keluarga Malaysia salam Kenyalang. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih di atas kesempatan yang diberikan kepada Batang Lupar mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini. Terlebih dahulu saya ingin menjunjung kasih Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan penggal keempat Parlimen Keempat Belas baru- baru ini. Setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Ahli Parlimen Bera di atas amanah baru yang digalas sebagai Perdana Menteri Kesembilan. Transformasi Politik. Tuan Yang di-Pertua, politik negara mencatat sejarah apabila buat julung kalinya pihak kerajaan dan Pakatan Harapan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama bipartisan yang kukuh serta mantap dalam mengangkat semangat keluarga Malaysia. Konsep bipartisan ini bukanlah sesuatu yang baharu di kalangan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Matlamat Pembangunan Lestari atau All-Party Parliamentary Group Malaysia – Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) yang bersifat bipartisan multisectoral. Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Tuan Yang di-Pertua, sebagai pengerusi APPGMSDG saya dan pasukan ini berperanan aktif bagi menggerakkan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk melokalisasikan SDG di peringkat kawasan Parlimen melalui penyelidikan dalam mengenal pasti isu-isu tempatan di semua kawasan Parlimen yang mengambil bahagian. Seterusnya, program pembangunan kapasiti dan projek solusi akan dilaksanakan. Menerusi inisiatif SDG ini Voluntary National Report (VNR) telah diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam mendukung usaha global ini. Di dalam VNR ini, kerajaan telah menyatakan tentang penubuhan Jawatankuasa Pemandu SDG Nasional adalah penting bagi kerajaan menyusun dan memantau segera pelan tindakan di bawah jawatankuasa ini kerana kurang daripada empat tahun VNR seterusnya akan dibentangkan sekali lagi bagi membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat dalam melaksanakan SDG. Baru-baru ini juga kerajaan telah memberikan komitmen dalam penubuhan pasukan petugas penyampaian SDG antara agensi multistakeholder di peringkat daerah. Penyelarasan di peringkat akar umbi ini penting terutama dalam melibatkan pejabat residen dan pejabat daerah yang mana mereka lebih memahami isu dan masalah setempat. Pendekatan secara silo antara pelbagai agensi dalam merealisasikan agenda ini harus dielakkan. Pandemik COVID-19 memberi kesan mendalam terhadap sektor kesihatan, ekonomi, pendidikan, kesihatan mental malah keseluruhan sosiokehidupan. Dalam menangani permasalahan ini, saya mencadangkan bahawa isu rentan dan kesusahan rakyat yang kerajaan tangani perlu melibatkan skop yang lebih luas dan bukan hanya kepada peningkatan pendapatan sesebuah keluarga tetapi juga kesejahteraan, kesaksamaan gender, pendidikan inklusif, isu populasi, perumahan dan kependudukan dengan dimensi yang lebih luas. Dasar Wanita Negara. Tuan Yang di-Pertua Laporan Indeks Jurang Gender Global 2021 Malaysia berada di kedudukan ke-112 daripada 156 buah negara di mana jatuh daripada kedudukan sebelum ini iaitu 104. Walaupun score card Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam sub indeks pendidikan dan kesihatan, namun tidak dalam bidang ekonomi serta politik.
Di peringkat kerajaan, satu dasar jelas serta pelan tindakan komprehensif berimpak tinggi dan berkesan perlu disediakan. Dasar Wanita Negara yang mula diperkenalkan pada tahun 1989 perlu dikaji semula bersesuaian dengan keadaan masa kini. Dalam mengarusperdanakan gender, gender-responsive budgeting adalah prinsip yang harus diguna pakai dalam peringkat ini bagi memastikan arah dan agihan sumber mengambil kira impak dan kesan terhadap kesaksamaan gender. Mengenai rang undang-undang gangguan seksual, Tuan Yang di-Pertua, saya menggesa kerajaan membentangkan rang undang-undang gangguan seksual dengan segera. Walaupun terdapat peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Akta Kerja 1955 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia menunjukkan banyak lagi, dengan izin, grey area terutama apabila bercakap mengenai gangguan seksual siber yang tidak secara fizikal yang kurang dititikberatkan selama ini. Saya mencadangkan untuk kita menggunakan sepenuhnya Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial sebagai salah satu platform dalam libat urus. Saya melihat bahawa model Kumpulan Rentas Parti Parlimen atau bipartisan APPGM bagi menangani isu wanita adalah bersesuaian malah boleh digunakan dalam skop yang lebih luas. Wilayah Sarawak dan kemakmurannya. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pagoh yang telah mengangkat Sarawak sebagai sebuah wilayah. Pengiktirafan ini dilihat dapat membantu Sarawak dalam proses menuntut hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perkataan ‘wilayah’ yang diberikan kepada Sarawak ini nanti tidak akan memberi apa-apa implikasi kepada status sebenar jika hak negeri ini seperti yang termaktub dalam MA63 tidak dikembalikan. Namun demikian, saya percaya bahawa kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang akan menjadikan perkara ini sebagai salah satu agenda utamanya seperti yang diumumkan dalam ucapan beliau bersempena Hari Malaysia baru-baru ini di Kota Kinabalu, Sabah. Saya ingin menyentuh mengenai negara jiran kita, Indonesia yang telah mengumumkan perpindahan pusat pentadbiran Indonesia ke Kalimantan pada masa depan. Saya rasa sekarang ia sudah berjalan. Sarawak sudah pastinya akan memperoleh manfaat dan impak secara langsung melalui langkah ini. Kawasan saya di Batang Lupar, malah Lubok Antu dan Sri Aman adalah kawasan yang sangat dekat dengan Kalimantan dan berpotensi untuk dijadikan sebagai laluan perdagangan merentasi sempadan yang lebih rancak. Sarawak khasnya, pasti mendapat manfaat yang besar. Wisma Putra bersama Kerajaan Negeri Sarawak serta beberapa kementerian berkaitan perlu duduk semeja bagi menjayakan misi meneroka peluang baharu ini. Namun, kita juga perlu bersedia untuk menghadapi impak negatif yang bakal diterima yang mana ia akan memberi cabaran baharu kepada Malaysia khususnya Sarawak dalam soal keselamatan dan persempadanan. Aspek keselamatan di sempadan negara dengan Kalimantan Timur perlu diberi perhatian kerana garis sempadan yang sangat panjang iaitu kira-kira 1,000 kilometer. Dalam perkara ini, saya rasa penting untuk Kerajaan Persekutuan melihat aksesibiliti lebuh raya sempadan bukan sekadar daripada aspek pengangkutan sahaja tetapi juga daripada aspek keselamatan. Menyentuh mengenai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan melihat kepada potensi besar perkongsian sumber makanan, MAFI harus meningkatkan produktiviti dan pengurusan sawah melalui beberapa pendekatan seperti pengurusan sawah berskala besar, penghasilan anak benih dan pertanian pintar dalam industri padi. Batang Lupar bersedia untuk terus bekerjasama dengan MAFI dalam usaha ini bagi menampung keperluan tempatan seterusnya menjamin sekuriti makanan negara.
Pengeksportan ke negara jiran adalah sesuatu yang boleh diterokai apabila keperluan negara mencukupi. Tuan Yang di-Pertua, syukur alhamdulillah, Sarawak telah berjaya mencapai imuniti kelompok dengan 89.2 peratus populasi dewasa telah divaksin penuh dua dos setakat semalam. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak atas kejayaan ini. Malah, saya berterima kasih kepada kerajaan kerana Sarawak telah menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan program vaksinasi kepada remaja berumur 16 hingga 17 tahun. Doa dan harapan saya akan sentiasa mengiringi rakyat di kawasan saya di Batang Lupar dan Malaysia amnya agar kita terus cekal memerangi COVID-19 ini dan dipermudahkan usaha kita oleh Allah SWT. Saya juga memohon agar kerajaan melipatgandakan pelbagai bantuan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Tuan Yang di-Pertua, dengan ini, saya menjunjung kasih titah ucapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Dengan itu, saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batang Lupar. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Pasir Gudang, kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Tasik Gelugor menggantikan Yang Berhormat Baling. Yang Berhormat Baling kemudian. Kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Lanang, kemudian Yang Berhormat Simpang Renggam. Sila Yang Berhormat Pasir Gudang.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, syukur alhamdulillah, saya Ahli Parlimen Pasir Gudang mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk membahaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong. Dalam ucapan Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong pada Majlis Perasmian Parlimen pada 13 September 2021 yang lalu, Baginda telah menyentuh tentang perlunya rasuah dihapuskan. Pada perenggan 56 dalam teks ucapan Yang di-Pertuan Agong tersebut, Baginda menyebut pentingnya Pelan Anti Rasuah Nasional dan juga Pelan Anti Rasuah Organisasi supaya dapat aspirasi rakyat untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas dari rasuah dan berintegriti dapat dibina. Dalam isu ini, saya menyambut baik saranan Yang di-Pertuan Agong tersebut dengan mencadangkan dua perkara yang saya namakan serampang dua mata untuk menghapuskan rasuah di negara kita. Tuan Yang di-Pertua, saya anggap serampang dua mata ini sebagai game changer. Apakah serampang dua mata itu? Pertama ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) saya cadangkan hendaklah diletakkan di bawah Parlimen ini. SPRM tidak sepatutnya lagi berada di bawah kawalan seorang Perdana Menteri. Cadangan saya ini tentu perlu dibincangkan dan diperhalusi dan semua aspek perlu dikaji dari segi perundangan, Perlembagaan Persekutuan, pentadbiran serta kewangan bagi melaksanakannya. Saya berharap Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Bera dapat mengambil perhatian tentang cadangan ini. Serampang yang kedua ialah saya mencadangkan supaya SPRM lebih berkuku dan bertaring, maksudnya lebih efektif dalam soal kuasa pendakwaan di mahkamah.
Tuan Yang di-Pertua, selama ini SPRM hanya berperanan sebagai badan penyiasat sahaja. SPRM tidak ada kuasa mendakwa di mahkamah. Kuasa mendakwa terletak pada tangan pendakwa raya yang juga individu yang sama memegang jawatan
Peguam Negara yang antara tugas utamanya Peguam Negara menjadi penasihat kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Jadi dalam hal ini, jika SPRM berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, maka berlaku lah pertindihan kepentingan, percanggahan kepentingan atau conflict of interest. Tuan Yang di-Pertua, terdapat dilema sekarang di hadapan kita. Banyak berlaku kes-kes rasuah yang telah disiasat dengan menyeluruh oleh SPRM dan didakwa di mahkamah, tiba-tiba pendakwa raya yang juga sebagai Peguam Negara, telah menarik balik kes-kes pendakwaan rasuah di mahkamah. Ini menjadikan kita dan rakyat umum semua tidak berpuas hati dan mahu supaya SPRM diberi kuasa mendakwa kes-kes rasuah di mahkamah. Akan tetapi hasrat kita itu tidak boleh dilakukan kerana sistem pentadbiran dan amalan demokrasi di Malaysia mengamalkan prinsip pengasingan kuasa (separation of powers). SPRM yang menjadi badan yang menyiasat kes-kes rasuah tidak boleh pula menjadi pendakwa raya bagi kes-kes rasuah di mahkamah. Tuan Yang di-Pertua, justeru itu maka saya mencadangkan di Parlimen hari ini di dalam ucapan ini, saya mencadangkan supaya sampai masanya jawatan Peguam Negara dan jawatan pendakwa raya hendaklah dipisahkan. Peguam Negara orang lain, manakala pendakwa raya juga orang lain. Jika ini dapat dilakukan dengan menjadikan jawatan pendakwa raya itu suatu jawatan yang bebas dan berwibawa, tidak lagi duduk di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, saya percaya ini juga merupakan satu perubahan yang akan dapat membantu SPRM dalam memerangi kes rasuah di tanah air kita ini. Tuan Yang di-Pertua, jika dua cadangan yang saya kemukakan ini yang saya namakan serampang dua mata, saya percaya insya-Allah usaha kita memperkasa agensi SPRM untuk memerangi amalan rasuah akan dapat ditingkatkan. Dua cadangan ini saya anggap dan saya ulang sekali sebagai game changer dalam perang melawan pandemik rasuah supaya virus rasuah yang bahaya ini tidak akan menjadi endemik di dalam masyarakat kita, di mana kita terpaksa hidup bersama virus rasuah seperti COVID-19. Tuan Yang di-Pertua, saya amat tertarik dalam titah diraja Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan bahawa “yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua”. Dalam semangat ini, saya mengalu-alukan memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan pada 13 September 2021 yang lalu. Saya menganggap memorandum persefahaman itu sebagai bukti nyata kerjasama politik bipartisan di dalam Parlimen dan di luar Parlimen antara kerajaan dengan pembangkang. Sungguhpun begitu, saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang ingin menyatakan pandangan saya di sini bahawa untuk kebaikan dan imej wibawa Perdana Menteri Kesembilan, Yang Amat Berhormat Bera, supaya kerajaannya membentangkan usul percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas ini. Mengapa saya berpendapat begitu? Saya berpendirian adalah sihat dan wajar kita mewujudkan satu konvensyen Perlembagaan Persekutuan bahawa sesiapa jua Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bukan dari keputusan pilihan raya umum yang dipilih oleh rakyat tetapi melalui cara-cara lain di luar Dewan Rakyat seperti melalui Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration (SD). Maka, Perdana Menteri itu hendaklah membentangkan undi percaya ke atas dirinya. Amalan undi percaya oleh Perdana Menteri baharu lanjutan daripada Perdana Menteri terdahulu meletakkan jawatan pernah berlaku di Dewan Rakyat sebelum ini. Apabila Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia dan Tun Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri Ketiga, beliau - Tun Hussein Onn telah membentangkan usul percaya terhadap dirinya di Dewan Rakyat. Oleh kerana itu, maka keabsahannya, imejnya dan wibawanya diperakui dunia. Begitu juga apabila Perdana Menteri Keempat - Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, maka Yang di- Pertuan Agong telah melantik Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Kelima.
Apa yang dilakukan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ialah kerajaan pimpinannya telah membawa usul undi percaya di Dewan Rakyat sesuai dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Maka, saya timbulkan perkara ini dan menyarankan supaya Yang Amat Berhormat Bera membawa usul percaya kepadanya di Dewan Rakyat. Ini adalah kerana usul percaya ini telah dibangkitkan oleh Yang di-Pertuan Agong di hadapan ketua-ketua parti politik yang diminta menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 17 Ogos yang lalu, di mana baginda menyatakan, “Barang siapa yang dilantik menjadi Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, hendaklah dengan segera membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat”. Tuan Yang di-Pertua, titah dan kehendak baginda Yang di-Pertuan Agong itu telah dizahirkan secara bertulis pula melalui suatu kenyataan media oleh Istana Negara keesokannya pada 18 Ogos 2021 yang menyatakan hal yang sama iaitu sesiapa jua yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi Perdana Menteri hendaklah membawa undi percaya di Dewan Rakyat ini. Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, izinkan saya untuk membawa satu perkara penting bagi kawasan saya di Pasir Gudang iaitu berkenaan pembinaan Hospital Pasir Gudang. Projek Hospital Pasir Gudang ini telah bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-11, sekarang kita dah nak masuk Rancangan Malaysia Ke-12. Hospital Pasir Gudang masih belum siap-siap lagi. Dua hari lepas, saya meninjau kawasan tapak pembinaan itu, hanya nampak sedikit sebanyak cerucuk di sana sini, terlalu lambat Tuan Yang di-Pertua. Perkara ini penting saya sebutkan dalam COVID-19 yang berlaku, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail penuh sesak dengan pesakit COVID-19 dan pesakit bukan COVID- 19. Jadi, saya minta lah kepada Kementerian Kesihatan dan kerajaan yang ada sekarang, percepatkanlah pembinaan Hospital Pasir Gudang. Tuan Yang di-Pertua, dengan rendah hati saya bagi pihak– sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang, menyokong usul Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Tasik Gelugor. Dipersilakan, 12 minit.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Keluarga Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk turut serta berucap menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Begitu juga dalam kesempatan ini, saya mendoakan agar tuanku Yang di-Pertuan Agong dan juga Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dianugerahkan kesihatan dan kekuatan yang berterusan untuk menaungi dan memayungi negara dan rakyat jelata tercinta serta meneruskan pemerintahan dengan adil, telus dan juga saksama serta mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Dalam kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Bera selaku— ataupun telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan dan didoakan semoga terus berjaya dan cemerlang dalam menjalankan tugas-tugas yang dipikulkan. Begitu juga terima kasih setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Pagoh selaku Perdana Menteri yang kelapan yang telah pun melaksanakan tanggungjawab dengan begitu cemerlang sekali, khususnya dalam menghadapi suasana yang begitu runcing akibat daripada ancaman pandemik COVID-19 dan rakyat amat menghargai serta berterima kasih kepada Yang Berhormat Pagoh dan juga usaha ini telah diteruskan oleh Yang Berhormat Bera.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, kalau kita melihat kepada ucapan yang telah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu merasmikan Dewan ini tempoh hari, banyak perkara yang telah disentuh oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang sepatutnya menjadi satu pedoman dan teladan kepada kita sebagai Ahli Parlimen yang mewakili amanah daripada rakyat dan juga amanah daripada pihak kerajaan. Di mana saya ingin singkap sedikit bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah pun menumpukan isu-isu berkaitan dengan budaya kerja berprestasi tinggi, demokrasi bermusyawarah, amalan tadbir urus yang terbaik, perkembangan positif dalam pengurusan pandemik COVID-19 dan juga urusan vaksinasi, yang mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh frontliners yang telah bertugas siang dan malam sudah hampir dua tahun. Begitu juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperingatkan kepada kita bahawa perlunya kita memperkasakan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi serta tidak meninggalkan pendidikan kerohanian dan pembinaan jati diri. Selain daripada itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah menyatakan keterujaan baginda terhadap kejayaan pakej-pakej rangsangan bagi mensejahterakan rakyat. Baginda juga telah mengingatkan tentang peri perlu pentingnya, pembangunan jaringan jalur lebar di seluruh negara bersesuaian dengan keperluan yang ada sekarang ini. Juga baginda mengingatkan kepada kita, tentang perlunya kita merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi antara negeri dan juga wilayah. Saya sengaja menyebutkan inti pati ucapan ini supaya kita tidak leka dan kita tidak terlupa terhadap pesanan-pesanan yang telah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mana ia sepatutnya menjadi satu keutamaan di dalam perbincangan kita di Dewan ini dan juga perancangan-perancangan di peringkat pelaksanaan oleh kementerian-kementerian yang berkaitan. Jadi semoga apa yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu akan menjadi satu garis panduan yang terbaik untuk kita menguruskan negara tercinta ini. Tuan Yang di-Pertua, dalam kesempatan ini saya ingin menyentuh sedikit tentang isu yang berkaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan di mana kalau kita lihat kesejahteraan rakyat adalah amat berkait rapat dengan peranan— dari segi pembangunan kesihatan, ya, sukan dan juga kelengkapan serta keperluannya. Justeru itu, saya ingin menyatakan permohonan saya kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk melihat perancangan pembangunan mini stadium di kawasan Parlimen Tasek Gelugor, di mana tanahnya telah pun disediakan oleh kerajaan negeri, iaitu di kawasan Pokok Sena dan mungkin peruntukan pembangunan boleh dikongsi dengan Kerajaan Persekutuan. Usaha ini telah pun berjalan lebih daripada 10 tahun yang lepas, tetapi tidak dapat dimaterialisekan kerana mungkin tidak ada satu hubungan kerjasama yang jelas di antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri dengan kerajaan negeri ataupun di antara Kementerian Belia dan Sukan. Justeru dengan sebab itu, bagi kepentingan kesejahteraan rakyat di kawasan saya terutama sekali di kawasan Parlimen Tasek Gelugor, saya memohon pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mewujudkan kemudahan mini stadium tersebut yang menjadi keperluan mendesak kepada penduduk di sana. Selain daripada itu, berkaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan juga, saya ingin mengajak kita semua untuk melihat sejauh mana komitmen Kementerian Belia dan Sukan dalam membangunkan atlet-atlet Olimpik dan Paralimpik, khususnya bagi Sukan Olimpik yang akan diadakan pada tahun 2024 di Paris. Pengajaran-pengajaran yang kita peroleh daripada Sukan Olimpik di Jepun baru- baru ini dan juga Sukan Paralimpik hendaklah kita melihat secara penuh muhasabah, di mana kelemahan, di mana kebaikan dan di mana kekurangan yang perlu kita perbaiki dan tempoh yang ada tidak terlalu panjang untuk sampai ke tahun 2024. Kelemahan- kelemahan yang kita semua sedia maklum hendaklah diperbaiki dengan segera.
Selain daripada itu, saya juga ingin mendapatkan penjelasan berkenaan dengan status siasatan kontroversi pembatalan pingat emas atlet lontar peluru Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli. Apakah keputusan tersebut dapat kita peroleh dengan memulangkan semula pingat tersebut kepada kita dan juga kelemahan-kelemahan yang berlaku di peringkat pengurusan Sukan Paralimpik bagi pihak Kerajaan Malaysia ini dapat diperbaiki dengan baik sekali. Selain daripada itu juga, berkaitan dengan persediaan sukan, khususnya bagi Sukan Paralimpik, atlet Paralimpik bagi masa-masa akan datang, kita tidak boleh hanya membebankan kepada KBS semata-mata, tetapi kita juga— saya juga perlukan satu jawapan daripada Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bertanggungjawab menguruskan orang kurang upaya (OKU), sejauh mana kedua-dua Kementerian ini terlibat secara langsung dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk membangunkan dan mengenal pasti bakat-bakat baharu terutamanya dalam Sukan Paralimpik. Bagaimana kita hendak menjana kekuatan ini supaya kita mempunyai atlet-atlet Paralimpik yang berkualiti tinggi. Seterusnya, Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan Kementerian Kewangan, kita ucapkan banyak-banyak ribuan terima kasih kerana telah pun memperuntukkan, ya, sebanyak RM530 bilion dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat dan RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021 melalui Pakej PRIHATIN, PENJANA, PEMERKASA, PEMERKASA+ dan juga PEMULIH yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri yang kelapan dan disambung oleh Perdana Menteri yang kesembilan. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah meminta supaya usaha mendekati rakyat dengan memulihkan kehidupan mereka dilaksanakan dengan lebih berkesan. Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada Dewan bahawa di Malaysia kita mempunyai satu institusi yang turut terlibat secara terus dalam membangunkan ekonomi khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar dan juga dalam kalangan wanita dan suri rumah iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia. Sekarang saya mempengerusikan Amanah Ikhtiar Malaysia dan saya menyedari bahawa peranan institusi ini amat besar dan cukup berkesan.
Dengan lebih kurang 136 buah cawangan di seluruh negara dan 378,900 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, ianya telah pun memberikan satu suntikan yang besar kepada pembangunan ekonomi khususnya bagi rakyat yang disebutkan tadi iaitu penduduk luar bandar dan juga di kalangan wanita dan suri rumah. Mereka telah berjaya, hampir kesemua berjaya untuk menguruskan kehidupan mereka dengan lebih sempurna dan keluar daripada kemelut kemiskinan hasil daripada bimbingan dan juga sumbangan daripada segi modal dan sebagainya.
Yang Berhormat Tasik Gelugor, boleh? Satu soalan sahaja, ringkas.
Saya tak cukup masa, nanti selepas ini.
Satu ayat, satu ayat.
Sekejap, saya habiskan yang ini dahulu lepas itu okey.
Satu ayat sahaja sebab...
Jadi Tuan Yang di-Pertua, dalam hal ini, sekejap.
Yang Berhormat merupakan Chairman- Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia. Soalan saya ringkas sahaja. Tak payah jawab sini, boleh jawab lepas ini. Saya nak tahu sama ada Yang Berhormat sanggup beri statistik sebagai Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia, berapa penerima bantuan dan kalau boleh, pecahan
jantina dan kaum kepada Dewan yang mulia ini ataupun saya boleh tulis surat kepada Amanah Ikhtiar Malaysia...
Baik. Saya harap Yang Berhormat boleh terus tulis kepada Amanah Ikhtiar Malaysia, kita akan menjawab secara bertulis.
Baik, terima kasih Yang Berhormat Tasek Gelugor.
Terima kasih. Baik, seterusnya. Dalam hal ini, saya hendak memohon, oleh sebab Amanah Ikhtiar Malaysia ini sudah pun wujud lebih kurang 34 tahun dan telah pun menunjukkan satu prestasi yang baik, yang telah diuruskan oleh pimpinan-pimpinan Amanah Ikhtiar Malaysia sebelum ini, maka saya menyedari bahawa perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan di mana Amanah Ikhtiar Malaysia sekarang cuba untuk mewujudkan lagi satu kumpulan sahabat yang kita panggil Sahabat Muda yang berusia di antara 20 tahun sehingga 40 tahun. Sekarang ini kebanyakan sahabat kita berusia lebih daripada 40 tahun dan ke atas. Jadi oleh sebab kita lihat sekarang ini keperluan masyarakat orang muda untuk memulakan kehidupan mereka dengan lebih berkesan dengan cara bantuan-bantuan mikro ini, mereka boleh menjalankan perniagaan-perniagaan kecil secara berkumpulan dan sebagainya. Justeru dengan sebab itu saya selaku Pengerusi, ingin memohon kepada pihak Kementerian Kewangan ataupun kepada pihak kerajaan untuk memberikan sumbangan sekurang-kurangnya RM50 juta bagi kita mewujudkan 17 ribu lagi sahabat muda bagi kita menjanakan ekonomi dan kita memulihkan keadaan sedia ada. Saya mencadangkan juga isu ini dimasukkan dalam perancangan PEMULIH yang dikendalikan ataupun dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pagoh. Jadi Tuan Yang di-Pertua, satu yang akhir sekali saya nak minta ialah tentang jalur lebar yang perlu kita bangunkan sekarang. Saya mohon kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk tolong melihat di kawasan saya, di kawasan Parlimen Tasek Gelugor khususnya di kawasan Ara Kuda dan juga Pokok Sena di mana jalur lebar dan juga capaian Internet perlulah diperkasakan kerana ada institusi-institusi pendidikan di kawasan tersebut termasuklah Institut Kemahiran Mara Seberang Perai Utara, politeknik, kolej komuniti dan juga kolej matrikulasi selain daripada sekolah-sekolah menengah dan sekolah rendah. Jadi, keperluan ini amat mendesak kerana kegagalan menyediakan jalur lebar kepada masyarakat ini akan menjejaskan apa yang telah kita rancang dan kita hasratkan untuk pembangunan pendidikan dan sebagainya. Justeru dengan sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan saya sudahi dengan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Baik. Pokok Sena bukan Parlimen Pokok Sena ya, di kawasan Pokok Sena. Terima kasih Yang Berhormat Tasek Gelugor. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Lanang kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Cameron Highlands dan kemudian Yang Berhormat Simpang Renggam. Sila Yang Berhormat Lanang, 12 minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Lanang untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas Titah Tuanku di Dewan ini. Tuan Yang di-Pertua, saya banyak menerima aduan bahawa individu yang telah lengkap dua- dos suntikan vaksin COVID-19 tidak diberikan sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera. Status mereka belum lagi dikemas kini dan mereka tidak tahu mana
untuk membuat aduan tersebut. Saya telah membawa isu ini ke Dewan yang mulia ini pada bulan Julai, akan tetapi masalah ini masih belum siap diselesaikan. Malah ada juga yang maklumat peribadi dalam MySejahtera adalah salah. Ke manakah mereka dapat membuat pembetulan tersebut? Adakah kerajaan akan menambah baik penggunaan aplikasi MySejahtera memandangkan ia perlu digunakan untuk ke mana-mana pada masa sekarang termasuk tandas di Parlimen. Saya mencadangkan agar helpline atau helpdesk yang sedia ada ditambah baik supaya masalah-masalah yang wujud dapat diselesaikan secepat mungkin termasuk proses mengemaskinikan status serta pengeluaran sijil vaksinasi digital untuk mereka yang lengkap dua dos vaksinasi. Selain itu, bagaimanakah kerajaan dapat memastikan hak warga emas atau golongan yang tidak mempunyai smartphone dipelihara? Banyak kali mereka tidak dibenarkan masuk ke premis kerana tiada MySejahtera untuk membuktikan mereka telah fully vaccinated, dengan izin. Walaupun seseorang boleh menunjukkan kad vaksinasi yang diterima selepas suntikan sebagai bukti semasa perjalanan rentas negeri dan daerah mahupun aktiviti sosial lain tetapi kad ini senang dipalsukan kerana tidak mengandungi sebarang ciri-ciri keselamatan seperti barcode atau sebagainya. Jadi, adakah kerajaan berhasrat untuk mengeluarkan kad vaksinasi rasmi yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tertentu kepada golongan yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera khususnya golongan warga emas dan penduduk luar bandar yang sebelum ini mendaftar pengambilan vaksin mereka secara manual disebabkan tidak memiliki telefon pintar ataupun tidak mempunyai akses Internet. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan menetapkan harga siling untuk ujian RT-PCR berharga RM150, rapid molecular yang membolehkan ujian diperoleh dengan pantas pada harga RM270, RTK-Antigen pada harga RM60, dan ujian pantas mengesan antibodi pada kadar RM50 di Semenanjung. Harga siling RT-PCR di Sabah dan Sarawak pula ditetapkan RM200, rapid molecular pada harga RM350, RTK-Antigen pada harga RM80 dan ujian pantas antibodi pada harga RM70. Kenapakah rakyat Sarawak perlu membuat ujian calitan dengan harga yang lebih tinggi? Sejak penetapan harga siling untuk ujian calitan COVID-19, berapakah aduan yang telah diterima dan adakah sebarang penguatkuasaan telah dibuat? Pada bulan Julai yang lepas, sahabat saya, Yang Berhormat Sarikei telah membuat ujian PCR di Kuala Lumpur dengan harga RM480. Kenapakah ini boleh berlaku walaupun adanya harga siling ini? Selain itu, baru-baru ini kerajaan telah menetapkan harga siling untuk RTK-Antigen Saliva Test pada RM19.90. Akan tetapi masih banyak golongan B40 tidak mampu membeli test kit ini terutama mereka yang mempunyai ramai ahli keluarga. Adakah kerajaan akan memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri COVID- 19 kepada rakyat kita? Malah pengumuman kerajaan untuk menetapkan harga siling tanpa sebarang perbincangan dengan pembekal atau pihak farmasi telah mengakibatkan mereka mengalami kerugian kerana stok yang dibeli, sebelum ini adalah pada kos yang lebih tinggi daripada harga siling. Kita tahu bahawa saliva test kit ini akan digunakan secara meluas dalam norma baharu ini. Jadi, saya mencadangkan supaya kerajaan dapat memberi subsidi yang secukupnya untuk mengurangkan harga test kit kepada lebih kurang RM10 atau lebih murah lagi supaya sebanyak mungkin rakyat dapat menjalani ujian tersebut di rumah sendiri. Saya juga mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk memberikan ujian test kit secara percuma untuk golongan B40 namun saya berharap mekanisme pengedaran akan diperhalusi supaya semua orang yang berhak akan dapat mendapatkannya secepat mungkin. Kalau kita lihat tahun lalu, ramai yang tidak dapat mask yang dijanjikan oleh kerajaan. Maka saya cadangkan kerajaan menggunakan data JKM atau data yang tepat untuk memastikan semua mendapat test kit dan care package tersebut secepat mungkin. Selain itu, apakah tindakan kerajaan untuk mengurangkan laporan false positive atau false negative daripada RTK-Antigen Saliva Test ini? Pada hari Rabu lepas, terdapat 12 orang yang mengambil ujian saliva test yang telah mendapat keputusan false positive di Parlimen.
Bagaimanakah kerajaan bercadang untuk menangani masalah ini? Tambahan pula, adakah kerajaan bercadang mengeluarkan satu advisory yang lengkap supaya rakyat tahu menggunakannya dengan betul dan seterusnya tidak berasa panik dan tahu apa yang perlu dibuat sejurus selepas mendapat keputusan tersebut. Di samping itu, sekarang di pasaran ada banyak ujian antibodi untuk memastikan bilangan antibodi selepas dua dos vaksin. Saya mengambil tahu bahawa kerajaan baru sahaja mengumumkan polisi dos ketiga. Saya ingin tahu adakah kerajaan membenarkan mereka yang mengambil antibody test dan mendapati tiada atau kurang daripada 30 peratus antibody COVID-19 akan juga diberikan prioriti untuk suntikan tambahan ini. Saya juga ingin bertanya, sama ada booster dose ini juga dilindungi oleh Insurans Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat COVID-19 seperti dos pertama dan kedua. Tuan Yang di-Pertua, mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun. Saya faham ramai ibu bapa amat risau. Ada yang ingin minta kerajaan supaya memberi pilihan untuk memilih sama ada vaksin Pfizer atau Sinovac. Mereka sanggup membayar untuk mendapatkan suntikan Sinovac jika kerajaan hanya memberi vaksin Pfizer. Adakah kerajaan akan membenarkan rakyat untuk memilih? Bagi anti-vaccine, adakah mereka dibenarkan untuk pergi ke sekolah, apabila sekolah dibuka semula pada bulan Oktober nanti? Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bertanya tentang Skim MySalam dan bantuan RM100 sehari di bawah NADMA bagi mereka yang kuarantin di rumah sendiri. Setakat ini, berapakah orang yang membuat permohonan dan berapa orang yang telah diluluskan dan menerima bantuan kewangan tersebut? Bagi keluarga yang “kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang”, ia adalah sangat mencabar apabila mereka diarahkan untuk kuarantin di rumah. Saya menerima aduan bahawa ada satu keluarga lima orang kuarantin tetapi hanya satu set Bakul Makanan disalurkan. Saya harap isu ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin supaya rakyat tidak terasa tertekan dengan keadaan yang mencabar ini. Bagaimanakah pula dengan individu yang kuarantin beberapa kali kerana merupakan close contact kepada kes positif? Saya menerima aduan daripada peniaga atau majikan bahawa mereka anggap ini boleh disalahgunakan dan mereka masih perlu membayar gaji sedangkan perniagaan sudah amat terjejas. Adakah cara untuk mengatasi isu ini dan sama ada majikan masih perlu membayar gaji kepada pekerja jika pekerja telah berkali-kali kuarantin di rumah. Tuan Yang di-Pertua, masalah beratur di Bank Simpanan Nasional bukanlah masalah baru. Banyak yang terima bantuan daripada kerajaan terpaksa beratur panjang di BSN untuk menuntut bantuan tersebut. Apabila saya membawa isu ini ke Dewan yang mulia ini, ada yang tidak percaya bahawa rakyat dari pedalaman perlu tidur atau bangun awal di kawasan BSN untuk beratur. Saya rasa Ahli-ahli Yang Berhormat di Sarawak memang faham dan tahu masalah ini. Tambahan pula bagi mereka yang menggunakan akaun bank CIMB yang menerima bantuan kebajikan dari JKM juga terpaksa membuka akaun baru di BSN untuk menerima bantuan kewangan sejak bulan lepas. Oleh itu, saya cadangkan agar kerajaan memperbanyakkan perkhidmatan bank bergerak di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman untuk mengatasi masalah beratur panjang ini. Saya juga mencadangkan kerajaan melantik bank-bank komersial tempatan lain daripada BSN untuk menguruskan pemberian bantuan kerajaan agar rakyat mempunyai lebih banyak pilihan semasa menerima bantuan daripada kerajaan dan mengurangkan kesesakan di cawangan BSN. Tuan Yang di-Pertua, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita juga perlu mementingkan efficiency dengan mempercepatkan proses pemberian wang bantuan. Pada masa yang sama, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan proses pemberian wang bantuan kerajaan tidak mengakibatkan penularan wabak COVID-19. Isu seterusnya saya ingin mengambil perhatian Dewan yang mulia ini tentang peningkatan kes bunuh diri. Masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat kita
perlu diberi perhatian serius memandangkan semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan semenjak kebelakangan ini. Baru-baru ini seorang peguam di Sibu telah mengambil nyawa sendiri dan videonya telah viral di social media. Saya menyeru supaya kita tidak memviralkan video-video atau gambar-gambar kes bunuh diri sebagai satu penghormatan kepada mangsa dan keluarganya. Berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia, sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan telah berlaku di antara Januari hingga Julai tahun ini iaitu peningkatan 143 peratus berbanding 262 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu. Kes-kes bunuh diri yang menunjukkan jumlah mendadak amat membimbangkan semua pihak. Jadi faktor sosial seperti kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan semasa PKP juga menjadi tekanan mental dan emosi kerana ia telah menyebabkan kehidupan orang ramai mengalami gangguan tidak terduga. Berdasarkan faktor sosial yang dikenal pasti, adakah langkah-langkah yang cekap, sedang dan akan diambil oleh kerajaan untuk membendung masalah bunuh diri ini? Saya ingin menegaskan di sini bahawa perlunya kerajaan bertindak lebih proaktif bagi mengimplementasikan langkah-langkah untuk menghentikan atau mengurangkan tindakan mengambil keputusan mengorbankan nyawa sendiri dalam kalangan rakyat negara kita. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyeru supaya kes COVID-19 yang melibatkan wanita hamil dan warga emas akan diberi keutamaan masuk ke hospital untuk mendapat rawatan. Di Sibu, saya kerap menerima aduan daripada golongan warga emas dan wanita hamil bahawa mereka ditempatkan di bawah khemah yang panas di luar hospital berjam- jam lamanya sebelum masuk ke wad hospital. Satu kes di mana seorang wanita yang mengandung terpaksa menunggu selama 10 jam di bawah khemah yang panas pada waktu siang dan dibasahi oleh air hujan apabila hujan pada waktu malam. Beliau disahkan positif COVID-19 dan diarah oleh pegawai KKM supaya pergi ke Hospital Sibu dan juga diberitahu bahawa dia akan diberi keutamaan masuk wad. Akan tetapi dia menunggu dari pukul 1 tengah hari hingga pukul 11 malam. Saya menyeru KKM supaya menambahbaikkan SOP bagi mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke wad. Selain itu, ketidakcekapan pengurusan sistem maklumat pesakit oleh pihak hospital juga telah menyebabkan ahli keluarga COVID-19 sering kehilangan kontak dengan pesakit dan kehilangan segala berita mereka. Kes ini berlaku di Hospital Sultanah Aminah di Johor di mana ahli keluarga pesakit COVID-19 telah lost contact dengan ibunya yang masuk wad. Lebih teruk lagi pihak hospital tidak dapat memberi sebarang maklumat yang tepat di wad mana ibunya ditempatkan. Menurut pengadu tersebut, dia telah membawa ibunya masuk ke kaunter kecemasan hospital kerana dikesan positif COVID-19 pada 30 Ogos dan ibunya telah dimasukkan ke wad kecemasan hospital. Pada 31 Ogos, pengadu pergi ke hospital meminta jururawat menyerahkan beg pakaian dan makanan kepada ibunya kerana tidak dapat dihubungi. Sejak hari itu, pengadu lost contact dengan ibunya walaupun dia banyak kali menghubungi pihak hospital tetapi langsung tiada sebarang berita terkini tentang ibunya. Sehinggalah dia menerima panggilan daripada pihak hospital pada 2 September bahawa ibunya telah meninggal dunia. Ini bukan cara yang betul dan profesional untuk menguruskan pesakit-pesakit COVID-19. Saya harap ini juga bukan piawaian hospital yang kita amalkan di negara kita. Keluarga pesakit mempunyai hak untuk mengetahui segala situasi terkini pesakit yang berada dalam hospital.
Yang Berhormat, minta rumuskan.
Okey rumusan. Dengan ini, saya berharap KKM mengambil langkah-langkah yang berpatutan agar semua pengurusan dan penempatan pesakit COVID-19 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur agar hal yang amat menyedihkan ini tidak akan berulang lagi. Walau bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua
frontliners yang bertungkus-lumus dalam pengurusan pandemik ini. Jasamu amat dihargai. Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat Lanang. Masa ada satu minit saja lagi sebelum pukul satu. Saya hendak menjemput Yang Berhormat Cameron Highlands memulakan dulu, kemudian kita akan break pukul 1 dan sambung 2.30 petang. Sila Yang Berhormat Cameron Highlands.
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua Dewan kerana memberi ruang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan ini. Pertama kali saya ingin menjunjung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan sidang Parlimen Penggal Keempat, Mesyuarat Pertama, sesi Parlimen Ke-14 ini. Untuk makluman, pada hari ini adalah hari yang ke-604 buah negara kita diserang oleh pandemik COVID-19. Bermula pada 25 Januari 2020 yang melibatkan pelancong dari China yang tiba di Johor Bahru melalui Singapura. Kebanyakan negara telah menerima hakikat bahawa pandemik COVID-19 ini tidak akan berakhir sepenuhnya. Ia akan berubah menjadi endemik iaitu penyakit yang akan terus wujud di dalam masyarakat kita. Negara Australia pada mulanya menyasarkan COVID-19 sifar telah mengubah polisi kepada mengawal jangkitan. New Zealand yang berbulan-bulan tidak ada kes, telah tiba-tiba muncul virus dan tindakan segera dilakukan bagi membendungnya dan menerima hakikat bahawa penyakit ini tidak akan hilang sedemikian daripada permukaan bumi ini. Malaysia juga telah membayangkan bahawa pandemik ini akan menjadi endemik. Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Tuan Khairy Jamaluddin, negara kita akan beralih ke keadaan endemik pada bulan Oktober tahun ini. Oleh itu, janganlah kita cepat berpuas hati. Pelbagai usaha hendaklah diteruskan dan ditingkatkan bagi mengekang penularan penyakit ini. Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan COVID-19 ini dan mencapai imuniti berkelompok untuk negara kita. Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini terdapat berita berkenaan sebuah medan selera yang popular di Suria KLCC akan ditutup selamanya.
Ahli Yang Berhormat, Oleh sebab masa telah pukul 1 dan nak masuk point baru, kita berhenti di sini. Ahli-ahli Yang Berhormat, kita berhenti rehat dan akan disambung semula pada jam 2.30 petang.
Baik, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.01 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Assalamualaikum semua, kita sambung perbahasaan tadi Yang Berhormat Cameron Highlands. Ada sembilan minit 49 saat lagi Yang Berhormat.
Baik Tuan Yang di- Pertua. Orang Asli juga tidak terlepas daripada masalah dari segi sektor ekonomi yang telah merudum akibat Pandemik COVID-19. Menurut laporan yang disampaikan oleh pelapor khas dengan izin, special rapporteur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kesan pandemik COVID-19 menjangkau lebih daripada sekadar ancaman kesihatan. Di mana penguatkuasaan Undang-undang Darurat telah memberi kesan terhadap golongan Orang Asli. Kebanyakan daripada penduduk luar bandar termasuk golongan Orang Asli terlibat dalam sektor ekonomi yang tidak formal dan bergantung pada gaji harian. Golongan ini sangat terjejas sekiranya mereka kehilangan pekerjaan, diburukkan lagi dengan kenaikan harga keperluan asas secara mendadak yang dicetuskan oleh kekurangan stok dan pembelian panik. Populasi global Orang Asli di seluruh dunia adalah berjumlah 476 juta individu merangkumi sembilan buah negara di seluruh dunia. Jumlah tersebut adalah bersamaan 6.2 populasi global. Namun komuniti Orang Asli ini mempunyai lebih tiga kali ganda potensi untuk tergolong dalam kalangan miskin tegar. Kadar kemiskinan yang tinggi di kalangan Orang Asli ini lebih mendedahkan mereka dengan risiko penyakit yang mudah berjangkit kerana kekurangan nutrisi dan sistem pertahanan tubuh yang lemah. Di Malaysia, masyarakat Orang Asli sebilangan besarnya merupakan peniaga kecil barangan hutan dan buah-buahan dan pekerjaan di sektor tidak formal. Mereka akan kehilangan punca pendapatan akibat terhentinya operasi selaras dengan arahan daripada pihak kerajaan dalam mengekang wabak ini daripada berleluasa. Kehilangan pendapatan ini diburukkan lagi dengan tidak berkemampuan untuk mendapat keperluan asas sekiranya tidak dibantu dengan segera oleh pihak kerajaan akan meningkatkan lagi jurang kemiskinan dan pendapatan masyarakat Orang Asli di negara ini. Mereka kini berdepan dengan beban yang lebih berat berbanding dengan mereka yang mempunyai pendapatan yang lebih stabil serta simpanan kecemasan yang mencukupi. Soalan saya, apakah yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menyelesaikan perkara tersebut? Tuan Yang di-Pertua, antara isu yang perlu diberi perhatian serius di ambang pandemik COVID-19 ini ialah isu kesihatan mental di kalangan masyarakat Orang Asli. Dalam sebuah laporan dari Arctic Council, kesan dari wabak akan bertambah buruk dengan keadaan hidup yang terabai serta keadaan rumah yang sempit. Kesan terhadap kesihatan mental ini tidak sekadar terhad kepada ketakutan yang timbul akibat penyakit itu sahaja bahkan tiadakan yang diambil untuk mengekang penularan wabak ini. Contoh seperti PKP di Malaysia juga memberi kesan terhadap kesihatan mental. Laporan tersebut juga memetik bahawa terdapat perkaitan yang kuat di antara kesan kehilangan pekerjaan terhadap kesihatan mental. Masyarakat Orang Asli negara ini sangat mudah terdedah dengan ancaman kesihatan mental akibat kekurangan akses kepada pakar kaunseling dan psikiatri untuk menilai serta memberi rawatan dan terapi yang sewajarnya. Berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan oleh statistik Kanada terhadap masyarakat Orang Asli di Kanada menyebut bahawa 60 peratus masyarakat Orang Asli di Kanada mengalami penurunan kesihatan mental pasca pelaksanaan penjarakan sosial. Berbanding tinjauan yang dilakukan pada tahun 2017, menyebut hanya 16 peratus masyarakat Orang Asli di Kanada yang mengalami kesihatan mental. Soalan saya
adakah pihak kerajaan ada melakukan kajian terhadap kesihatan mental masyarakat Orang Asli di negara ini sebelum bermulanya pandemik COVID-19 melanda negara kita. Berapa peratusan masyarakat Orang Asli di negara ini mengalami penurunan kesihatan mental dan apakah penyelesaian yang dilakukan? Tuan Yang di-Pertua, pada tahun ini kita digemparkan dengan berita berkenaan kejadian anggota pasukan polis berpangkat koperal yang dipercayai telah menembak anaknya berusia tujuh tahun sebelum menembak dirinya sendiri. Ini bukan kali pertama kes yang melibatkan warga PDRM yang berlaku. Sebelum ini juga seorang ibu mengunci diri bersama anak-anaknya dan membakar biliknya dalam kuarters polis di Perak. Selain itu, ketika awal perintah kawalan pergerakan ada anggota yang menembak dirinya di sekatan jalan raya kerana dia dikatakan mendengar suara halus menyuruhnya berbuat sedemikian. Adakah kejadian seperti ini berhubung kait dengan masalah kesihatan mental? Jika seorang anggota PDRM menghadapi masalah kesihatan mental dan tidak ditangani ia akan amat berbahaya kerana kebanyakan anggota bertugas biasanya dibekalkan dengan senjata api dan jika mereka sedang mengalami masalah kesihatan mental ketika bertugas, maka ianya akan membahayakan orang awam. Untuk makluman, sekitar tahun 2019 dan tahun 2020 seramai lebih kurang 25,832 warga PDRM di rekod menerima khidmat kaunseling daripada Bahagian Agama dan Kaunseling, BAKA PDRM. Dalam tempoh dua tahun ini, tiga masalah sering dihadapi iaitu peribadi, kerjaya dan kewangan membabitkan 22,612 kes, manakala bakinya masalah keluarga, kesihatan, tatalaku dan penempatan. BAKA ditubuhkan pada tahun 2007 bagi membina kesahihan moral dan pembangunan spiritual berlandaskan agama. Tiga elemen penting dalam BAKA merangkumi cawangan kesejahteraan organisasi, cawangan agama dan cawangan kaunseling dan psikologi yang diserap sebagai satu daripada unit dalam BAKA. Selain ditempatkan di bawah pengurusan urus setia Ketua Polis Negara. Soalan saya, adakah terdapat perancangan dari pihak kerajaan untuk menambah baik bahagian ini supaya ianya lebih cekap dalam menguruskan hal-hal berkaitan kesihatan mental para anggota PDRM. Jadi saya memohon kepada pihak kerajaan supaya mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian yang lalu dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau dan mengambil serius isu kesihatan mental para anggota PDRM.
Tuan Yang di-Pertua, polis merupakan profesion yang paling stress dengan kerja tanpa mengira masa, tugas yang tidak melayakkan untuk menuntut bayaran lebih masa sebagaimana Perintah Am Bab G disifatkan sebagai sentiasa bertugas seksyen 19 Akta Polis, tidak mendapat cuti raya, diherdik, dicerca, dimaki sehingga ada kepada risiko yang lebih serius apabila berhadapan dengan penyakit, kecederaan dan kematian akibat risiko semasa menjalankan tugas. Masyarakat tidak merasai, kecuali keluarga terdekat anggota PDRM tetapi masyarakat hanya melihat kepada kesilapan, kesalahan dan keburukan yang sengaja digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun, warga PDRM masih lagi menjalankan tugas dalam keadaan serba kekurangan dalam aspek kelengkapan, tugas sehingga kemudahan dalam aspek kebajikan dengan balasan gaji yang tidak setimpal dibandingkan dengan perkara yang jelas tadi. Setiap anggota PDRM wajar menikmati keperluan dan fasiliti ketika menjalankan tugas dan kebajikan mereka harus diambil berat supaya ianya tidak akan menjejaskan prestasi mereka sekali gus dapat mengurangkan stress ketika menjalankan tugas. Banyak faktor yang membolehkan seorang anggota PDRM itu mengalami masalah kesihatan mental terutama sekali melibatkan tentang kebajikan mereka. Jadi saya mengharapkan pihak kerajaan menyemak semula dasar-dasar yang berkaitan dengan kebajikan warga PDRM supaya kejadian-kejadian yang tidak diingini yang melibatkan mereka tidak berlaku lagi.
Tuan Yang di-Pertua, kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian bagi mengganti interaksi secara berdepan di dalam bilik darjah kini merupakan norma baharu dan satu-satunya cara yang paling selamat ketika melaksanakan perintah PKP bagi memutuskan rangkaian COVID-19. Namun, wujud keterbatasan dan kekangan khusus kepada pelajar yang tidak mempunyai capaian internet terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau di penempatan-penempatan pendalaman Orang Asli. Tidak dinafikan, di negara ini jika merujuk kepada manual dikeluarkan oleh KPM tahun ini ada gabungan kaedah dalam luar talian. Namun, keciciran masih berlaku dan data mengenainya belum dikongsikan. Apakah cara pengajaran yang dilaksanakan oleh pihak KPM selama ini mencapai sasaran, terutama sekali bagi murid-murid Orang Asli? Tidak lama lagi sesi persekolahan secara bersemuka akan dilaksanakan mengikut fasa. Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan harus lebih proaktif dalam memastikan keciciran pembelajaran tidak terus berlanjutan hingga berlaku senario generasi keciciran khususnya kepada murid-murid Orang Asli. Memandangkan kekangan masa, saya akan terus kepada kesimpulan. Tuan Yang di-Pertua, banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan untuk menghadapi keadaan yang mana pandemik COVID-19 di negara ini berubah menjadi endemik. Daripada pendidikan sampailah kepada aktiviti keagamaan dan sosial yang akan turut mengalami perubahan. Saya sedar bahawa pihak berkuasa dan agensi-agensi yang berkenaan arif mengenai keadaan ini dan sedang berusaha untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Saya berharap usaha dan langkah yang komprehensif dan sistematik dapat diambil oleh pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut khususnya yang berkaitan dengan masyarakat Orang Asli dan juga anggota-anggota PDRM. Selain itu saya berhasrat agar hak asasi masyarakat Orang Asli terjamin dan masyarakat Orang Asli dapat menikmati hidup setaraf dengan rakyat yang lain. Akhir sekali, saya ingin merujuk kepada perbahasan yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Pengerang. Saya mengambil kesempatan ini juga mengesyorkan Parlimen ini melaksanakan apa yang telah disyorkan oleh Yang Berhormat Pengerang. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum. Saya menyokong.
Terima kasih, Yang Berhormat Cameron Highlands. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Simpang Renggam.
Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua.
Ya, saya.
Dengan izin, Tuan Yang di- Pertua. Selamat petang. Peraturan Mesyuarat 18(1). Yang Berhormat Simpang Renggam just two minutes.
Yang Berhormat, bercakap fasal usul yang diberikan kepada saya itu, saya akan jawab.
Saya telah menghantar satu usul...
Saya akan jawab petang ini ataupun esok pagi.
Itu berkenaan dengan Muhammad Adib, anggota bomba yang terkorban di mana saya mohon ia dibicarakan, dibahaskan dalam Dewan.
Saya sedang perhatikan fakta-fakta yang lampau dan juga ada yang daripada aspek perundangan. Akan saya jawab kepada Yang Berhormat selewat-lewatnya esok pagi.
Pukul berapa, Tuan Yang di-Pertua.
Sebelum pukul 10.00 pagi.
Sebelum pukul 10.00 pagi?
Ya, sebab 24.
Bolehkah Tuan Yang di- Pertua maklumkan sekarang tentang apa yang akan diputuskan sama ada usul itu akan dibenarkan ataupun tidak.
Saya masih lagi tengah menyemak fakta-fakta yang lepas itu apa yang terjadi, apa soalan yang telah ditanya dan sebagainya.
Oleh kerana usul itu adalah sesuatu yang saya juga ingin mengaitkan dengan...
Saya faham, saya akan jawab selewat-lewatnya esok pagi, ya.
...Kes-kes Teoh Beng Hock dan juga kematian-kematian dalam lokap yang berlaku baru-baru ini.
Ya.
Oleh sebabnya Tuan Yang di-Pertua, dengan ringkas— saya akan tunggu jawapan. Kita lihat dalam kes Deva Segayam, tindakan telah diambil kita puji Kementerian Dalam Negeri di mana suspek yang terlibat telah dituduh tetapi dalam kes Muhammad Adib Mohd. Kasim, saya telah membangkitkan perkara ini bagi pihak semua Ahli-ahli Parlimen di sebelah sini.
Faham, faham.
Sehingga sekarang tidak ada mana-mana suspek dituduh dan begitu juga dengan kes Teoh Beng Hock sehingga sekarang tiada penyelesaian.
Akan tetapi usul Yang Berhormat hanya tentang arwah Adib.
Ya, tetapi boleh dibahaskanlah semua perkara itu. Saya akan tunggu jawapan, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Ya. Yang Berhormat Simpang Renggam, silakan.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Tuan Yang di-Pertua, T. Alias Taib antara pengasas gerakan sasterawan asas 50 pernah mengatakan, “Tidak ada seorang pun dilahirkan bijak atau bodoh. Pengalaman mengasah mereka menjadi bijak ataupun bodoh”. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menumpukan perbahasan saya kepada empat tajuk utama. Pertama, isu pendidikan di kala wabak dan pasca wabak COVID-19. Kedua, memartabatkan bahasa kebangsaan lewat relong pendidikan. Ketiga, isu literasi digital dan keselamatan siber dan keempatnya, menjadikan sekolah dan tempat pengajian selamat daripada gangguan seksual. Tuan Yang di-Pertua, jika diikutkan kepada rayuan, aduan, saranan dan keluhan puluhan ribu yang telah dihantarkan kepada saya oleh ibu bapa, para pendidik dan juga rakyat yang cakna di dalam ranah pendidikan, tidak cukup waktu yang terhad ini kita bawakan. Master plan ataupun pelan besar pendidikan sama ada pelan pemulihan mahupun pelan jangka masa panjang pasca wabak sehingga kini masih lagi sepi, tidak kelihatan. Maka, saya telah hadirkan satu solusi, satu proposal pernyataan polisi buat
pihak kerajaan sebagai menyediakan tapak untuk pelan pemulihan pendidikan dari tahap prasekolah sehinggalah tahap universiti dan termasuk di dalamnya pendidikan TVET. Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong berhubung pendidikan agar kerajaan bersikap inklusif merentasi politik ideologi dan kepakaran demi memulihkan sektor pendidikan wajib dijunjung oleh kerajaan terutamanya oleh KPM dan juga KPT. Kedua-dua Menteri KPM dan KPT telah pun saya berikan cadangan proposal ini dan kita harap bertitik-tolak daripada proposal alternatif ini, mereka boleh kemukakan satu pelan yang lebih komprehensif kerana mereka mempunyai sumber saran dan juga tenaga yang lebih. Dalam kesempatan ini juga, saya menyeru agar ditubuhkan segera Majlis Tindakan Pendidikan untuk merangka pelan pendidikan pasca COVID-19 selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong. Majlis ini perlulah dianggotai oleh mereka yang berpengalaman dan berkepakaran dalam bidang pendidikan, teknologi dan ekonomi selaras dengan titah tuanku agar ia merentasi politik, ideologi dan kepakaran dan penggunaan maksimum kepandaian buatan ataupun dengan izin, artificial intelligence dan data raya dengan izin, big data untuk membantu menangani kemelut ini juga amat-amat diperlukan. Demi memastikan kecemerlangan dan kewibawaan pengajian tinggi pula, pengajian tinggi Malaysia perlu diuruskan oleh ahli akademik dan profesional tanpa campur tangan agenda politik dan ahli politik mana-mana pihak. Hal ini boleh dicapai melalui penubuhan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 ataupun dikenali sebagai Akta 546. Ia harus disegerakan dan pada tahun 2019, kita telah pun mulakan usaha. Namun, apabila bertukarnya kerajaan, usaha tersebut nampak agak terbantut. Keanggotaan lembaga pengurusan universiti juga hendaklah bebas daripada lantikan politik.
Saya juga telah diminta oleh ramai, sama ada oleh pendidik ataupun ibu bapa dan juga rakyat, untuk membawakan isu pengoperasian seperti pembukaan dan penutupan sekolah terutamanya pada bulan hadapan. Saya rasa apa pun pandangan yang dibawa di Dewan ini, pihak KPM telah membuat keputusannya dan tidak pernah mengambil kira pandangan kami. Walau bagaimanapun, apa pun keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu tersebut, harapan saya ialah usahlah dibebankan para guru dengan tugasan yang bertindan, laporan yang tidak berkesudahan dan juga pelbagai keputusan yang tidak bersumberkan daripada tugas hakiki mereka. Berikan kepercayaan kepada pihak sekolah dan biar ada komunikasi yang jelas antara pihak sekolah dengan ibu bapa agar ibu bapa tidak berterusan pening kepala dan keliru. Tuan Yang di-Pertua, bahasa kebangsaan sebagai identiti asas bangsa Malaysia dan negara berdaulat mestilah dititikberatkan. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa juga elemen penyatuan yang amat penting bagi sesebuah negara. Saya amat berbangga dengan pelakon Hollywood berasal dari Johor Bahru, kampung saya, Ronnie Chieng yang membuat ucapannya dalam bahasa Melayu ketika mempromosikan filem cereka siri Marvel yang bertajuk Shang-Chi yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi. Saya ingin bertanyakan kepada KPM, apakah yang berlaku kepada Dekad Bahasa Kebangsaan yang telah kita lancarkan pada tahun 2019? Apakah dengan berubahnya kerajaan, maka kempen memartabatkan bahasa kebangsaan juga pudar? Rakyat juga tertanya-tanya, di manakah taring Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mutakhir ini? Jika pada tahun 2018, tahun 2019 Dewan ini menjadi saksi bahawa DBP sentiasa bertamu di bibir Menteri Pendidikan pada waktu tersebut, persoalannya kini, mengapa senyap sepi? Tidak pernah satu perkataan berkaitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga bahasa kebangsaan berkumandang lagi semenjak 18 bulan yang lalu. Adakah DBP masih lagi segar malar ataupun telah layu, tidak bertenaga dan lesu?
Bagaimanakah pula dengan nasib sasterawan-sasterawan negara kita? Apakah sumbangan yang telah diberikan kepada mereka secara bulanan tetap mereka terima lagi? Bagaimanakah pula dengan program-program sasterawan di universiti? Apakah masih dicetak semula karya-karya mereka dalam edisi mampu milik seperti tahun 2019? Apakah masih lagi ada tempat buat sasterawan di bumi Malaysia ini setelah selama lebih 18 bulan mereka dipinggirkan? Bahasa dan sastera kebangsaan adalah elemen jati diri negara dan bangsa. Bersamalah kita pertahankan dan perjuangkan. Tuan Yang di-Pertua, jika selepas kemerdekaan Kerajaan Persekutuan bergelut melakukan pelbagai kempen, pelbagai usaha untuk memerangi buta huruf dan memastikan warga berada dalam keadaan terdidik, mempunyai pelajaran dan pergi ke sekolah, kini zaman telah berubah. Kadar buta huruf bukan lagi isu majoriti rakyat tetapi isu celik digital adalah isu yang besar terutamanya ketika negara di ambang mengadaptasi revolusi industri 4.0. Kebergantungan warga dunia kini kepada teknologi dan teknologi digital memaksa kita untuk memastikan kadar iliterasi ataupun kadar buta huruf digital di kalangan rakyat Malaysia dapat kita atasi. Mahu atau pun kita tidak mahu, celik digital adalah gaya hidup manusia di abad ke-21 ini. Tuan Yang di-Pertua, jurang digital di kalangan rakyat perlulah dirawati dahulu dengan memastikan akses kepada ruang digital yang berkualiti dapat dinikmati oleh setiap warga di mana pun mereka berada. Program JENDELA yang sepatutnya dipercepatkan sepanjang wabak melanda kerana keperluan anak-anak serta para guru untuk menjalani PdPR dan juga tuntutan warga kerja untuk bekerja dari rumah tidak berlaku. Ini perlu diperbaiki. Saya berterima kasih kepada SKMM Johor yang telah banyak membantu kita bersama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk memperbaiki capaian internet di kawasan Parlimen Simpang Renggam. Walaupun masih berlaku dan tidak sempurna lagi tetapi terima kasih kepada mereka. Hakikatnya, capaian internet masih lagi lemah di kebanyakan kawasan di dalam negara kita dan ini akan melebarkan jurang digital di antara rakyat. Akhirnya, akan menyebabkan keciciran pelajaran di kalangan ramai anak-anak seperti mana yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat Cameron Highlands sebentar tadi. Pihak KKMM perlu bertindak di luar kebiasaan, di luar cara konvensional dan mempercepatkan usaha melebarkan capaian internet berkualiti ke seluruh negara. Akses internet adalah hak setiap pelajar dan pendidik. Mereka harus disediakan sekurang-kurangnya 100 kbps sambungan jalur lebar untuk setiap pengguna peranti di sekolah atau institusi pendidikan dan kualiti perkhidmatan sebanyak 99 peratus ketersediaan. SKMM juga perlu memberi mandat kepada pengendali telekomunikasi untuk menyediakan sekolah dengan tahap capaian rangkaian yang serata dan bukan lagi dimonopoli oleh satu syarikat semata-mata. Capaian mestilah disediakan di semua kemudahan sekolah di mana capaian diperlukan untuk pelajaran dan pembelajaran. Dayakan penggunaan TV white space dan jalur lain yang tidak digunakan untuk kita mempromosikan capaian di luar bandar. Kembali kepada literasi digital, Tuan Yang di-Pertua. Buta huruf digital atau pun digital illiteracy hanya akan menyebabkan seseorang individu menjadi mangsa mudah (easy prey), dengan izin, kepada kegiatan penipuan, scammers, mangsa unsur keganasan, pemerdagangan manusia dan lain-lain unsur penipuan, jenayah dan pemanipulasian dalam dunia siber. Tidak dinafikan juga tanpa literasi digital yang cukup, para remaja kita dan orang dewasa juga akan menjadi mangsa mudah kepada ketagihan pornografi, pemangsa seks (sexual predators) dan juga pelaku amang seksual. Banyak kes penipuan, jenayah, hutang dan lain-lain sindiket di alam siber yang mana banyak mangsanya adalah kerana kuangnya pendedahan mereka terhadap keselamatan siber ataupun cyber security dan literasi digital. Di sebalik semua ancaman dan mara bahaya ini, terdapat juga banyak unsur positif bagi mereka yang celik digital. Mahu ataupun tidak mahu, penggunaan digital akan menjadi satu-satunya cara untuk perniagaan pelaburan terutamanya melalui gig economy.
Maka dicadangkan agar usaha penyebarluasan kesedaran dan pendidikan literasi digital kepada semua peringkat wajib dilakukan secara serius. Pendidikan keselamatan siber dan literasi digital wajib menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah merentasi subjek dan kurikulum. Institusi-institusi pendidikan juga mestilah mewajibkan pendidikan digital dan keselamatan siber dalam kursus-kursus yang ditawarkan demi menjadikan warga Malaysia warga yang siaga siber dan celik digital. Perlu diingatkan, kesedaran siber perlu untuk menjaga kerukunan dan keharmonian antara masyarakat. Bagi mereka yang kurang pendedahan kepada literasi digital, mereka akan menjadi mangsa mudah kepada isu-isu perkauman yang sentiasa ditiupkan melalui media sosial. Jack Ma, Pengasas Alibaba.com pernah mengatakan, “If you don’t align together, human beings are going to fight each other because each technology revolution makes the world unbalanced”. Tuan Yang di-Pertua, masyarakat acap kali dikejutkan dengan berita mengenai gangguan seksual dan juga beberapa insiden yang berkaitannya di sekolah, asrama dan juga institusi pengajian tinggi. Kes-kes tersebut adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan. Ia memerlukan campur tangan serius di pihak kerajaan dan terutamanya kementerian-kementerian yang berkenaan. Saya maklum semenjak tahun 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mempunyai SOP pelaporan dan tindakan menangani isu disiplin murid berserta dengan garis panduan mengendalikan gangguan seksual murid. Namun, kedua-dua SOP ini tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa. Oleh sebab itu, pada 13 Disember 2019, KPM telah melakukan satu inisiatif iaitu telah meluluskan satu memo untuk kita membuat garis panduan yang baharu selari dengan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Detilnya ada saya perincikan di dalam buku, Memori Bukan Memoir.
Saya juga menyokong gesaan agar Rang Undang-undang Akta Gangguan Seksual segera dibentangkan dan diluluskan. Together we make schools a safer place for all. Tuan Yang di-Pertua, di penghujung kalam saya, besarlah harapan saya agar agenda pendidikan dijadikan keutamaan semua pihak, terutamanya pihak kerajaan. Bersamalah kita menjunjung titah tuanku Yang di-Pertuan Agong agar pendidikan diberikan perhatian dan agar kesemua pihak bergabung tenaga demi mengangkat agenda pendidikan bersama tanpa mengira ideologi, politik kepartian dan juga apa-apa yang memisahkan kita. Harapan kita agar warga Malaysia menjadi warga berpendidikan dan negara Malaysia menjadi negara yang menjulang agenda pendidikan. Bak kata Sasterawan Negara kita - A. Samad Said, “kita datang bersama anak-anak yang sedia menyanyi, sihat, teguh, bertekad dan berani mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti. Tanah air akan indah, megah dan bermaruah jika kita sentiasa mensyukuri nikmat Allah dan bumi akan subur, makmur dan mewah jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama”. Pendidikan adalah untuk semua. Tanggungjawab kita bersama. Saya mohon menyokong Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Simpang Renggam. Seterusnya, Yang Berhormat Sibuti. Ingin saya nyatakan, selepas Yang Berhormat Sibuti, Yang Berhormat Sepanggar, Yang Berhormat Padang Rengas, Yang Berhormat Lembah Pantai. Yang Berhormat Sibuti sekarang.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Saya ingin memulakan perbahasan saya untuk membangkitkan beberapa isu, terutama sekali berkenaan tentang isu pendidikan di Sarawak, isu pembukaan sekolah di kawasan pedalaman dan juga luar bandar Sarawak. Saya juga ingin membangkitkan isu berkaitan tentang sempadan dan keselamatan perairan Laut China Selatan.
Saya ingin membangkitkan kebimbangan situasi persekolahan luar bandar dan pedalaman di Malaysia, terutama di negeri Sarawak. Senario pendidikan di Sarawak bukan hanya berdepan dengan kedaifan infrastruktur, malah prestasi akademik turut membimbangkan, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 ini. Apa yang menjadi kekhuatiran saya ialah jurang akademik pelajar luar bandar dan bandar akan semakin melebar dan mewujudkan lost generation, kesan daripada penutupan sekolah yang agak lama di kawasan luar bandar. Apa yang ingin saya sampaikan adalah berkenaan tentang perancangan pembukaan sekolah di kawasan luar bandar. Saya melihat kerajaan terlalu Putrajaya centric, di mana kementerian sibuk untuk mengurus dan juga untuk merancang pembukaan sekolah di kawasan bandar. Saya bersetuju dengan kebimbangan ibu bapa di sekolah-sekolah luar bandar tentang keselamatan anak-anak. Akan tetapi kesan besar pandemik COVID-19 ini adalah pada kanak-kanak ataupun pelajar-pelajar di kawasan pedalaman di kawasan luar bandar. Sebagai contoh, saya ambil salah sebuah sekolah di kawasan Parlimen Sibuti, hanya terdapat 20 orang pelajar di sekolah tersebut dan juga jarak sekolah tersebut hanya beberapa meter daripada tangga rumah tersebut. Akan tetapi sekolah tidak dapat dibuka dan juga tidak ada kaedah dan SOP yang terperinci bagaimana membolehkan persekolahan di pedalaman di buka ketika pandemik COVID-19. Selain daripada itu, saya menyemak data-data yang terdapat di laman web Kementerian Pendidikan, terdapat lebih kurang 14 buah sekolah di kawasan Parlimen Sibuti yang mempunyai pelajar di bawah 50. Seperti yang saya bagi tahu tadi, keadaan sekolah tersebut terletak di hadapan rumah panjang, di belakang rumah panjang, di tepi rumah panjang tetapi pelajar-pelajar tersebut terpaksa mencari talian ataupun capaian internet jauh dari rumah. Sedangkan sekolah tersebut hanya di depan mata sahaja. Kalau guru besar menjerit memanggil kanak-kanak untuk datang ke sekolah, sudah pasti mereka dapat mendengar jeritan guru besar tersebut. Akan tetapi saya hairan, tidak ada cara ataupun kaedah ketika pandemik COVID-19 berlaku sepanjang tahun 2020 sehingga sekarang untuk memberi peluang kepada kanak-kanak ini untuk masuk ke sekolah ketika musim pandemik. Selain daripada itu juga, saya melihat guru-guru dibebankan dengan tugas- tugas seperti apa yang telah diperkatakan oleh Yang Berhormat Simpang Renggam. Saya telah meneliti dan juga melihat banyak postings guru-guru, warga pendidikan di laman Facebook ataupun WhatsApp group yang menyatakan kelelahan ataupun burnout akibat tugas-tugas yang bermacam-macam, terutama menghantar data kepada PPD dan juga kepada pegawai-pegawai. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang sanggup mencetak modul pembelajaran dan menghantar sendiri kepada pelajar dan ibu bapa. Saya juga ingin menyatakan rasa sedih dan kasihan kepada datuk dan juga nenek yang membimbing tekiding, tekiding ini seperti bakul lah kalau dalam bahasa Kedayan. Sebelum mereka ke kebun, terpaksa mengambil modul ataupun kerja rumah cucu-cucu untuk dibagi dan juga environment yang terdapat di kampung dan juga di rumah panjang tidak menyediakan sistem pembelajaran yang kondusif. Kanak-kanak pada pukul 9.00 pagi, 10.00 pagi bebas berkeliaran sedangkan sekolah di hadapan mata mereka. Juga terdapat pelajar yang berusaha untuk masuk ke ladang, mendaki bukit untuk mendapat capaian internet. Ada juga ibu bapa yang sanggup, yang mempunyai inisiatif yang sangat tinggi, membawa anak-anak keluar dari kampung dan juga menetap di bandar buat sementara waktu untuk anak-anak tersebut mendapat pelajaran melalui kaedah PdPR melalui internet. Saya juga ingin menyebut sebuah kisah seorang guru di kawasan Parlimen Sibuti, Adham Gorni daripada SK Kelapa Sawit No.2. Saya sering memerhati postings beliau di dalam Facebook, menampakkan kesungguhan seorang guru luar bandar yang sanggup berusaha untuk mendapatkan kehadiran pelajar-pelajar dan juga kurang mendapat kerjasama ibu bapa ketika pada mula-mula pengenalan sistem PdPR ini.
Alhamdulillah beliau berjaya walaupun jaringan internet saya rasakan tidak bermaruah bagi orang luar bandar. Cabaran kehadiran dan juga kerjasama ibu bapa sangat-sangat diperlukan dan juga kesedaran untuk menghantar anak ke sekolah ketika ini sungguh-sungguh membimbangkan bagi saya. Saya ingin mencadangkan supaya Pengarah Negeri dan juga Pegawai Pendidikan Daerah diberikan kuasa, penurunan kuasa untuk pembukaan sekolah, khususnya di kawasan luar bandar. Cabaran sebagai Ahli Parlimen ialah keinginan kami untuk membantu pihak sekolah ketika musim pandemik COVID-19 ini. Walaupun demikian, pendirian KKM bahawa tiada penglibatan ahli politik dalam pendidikan. Sedangkan kami ialah Ahli Parlimen sebagai penggubal dasar. Melalui semakin saya juga, Institute for Research and Development of Policy, melalui analisis perbahasan Ahli Parlimen berteraskan sains data, subjek pendidikan adalah merupakan topik yang sangat banyak diperkatakan oleh Ahli Parlimen. Maka, saya berharap agar KPM dapat mewujudkan satu environment yang sesuai untuk kami sebagai Ahli Parlimen untuk membantu persekolahan ketika COVID-19. Seterusnya, saya ingin pergi kepada masalah pembangunan sekolah daif. Saya tidak lupa kepada perjuangan sekolah daif. Ketika pemerintahan Pakatan Harapan, kami berjaya melaksanakan pembangunan sekolah daif melalui pembayaran semula RM1 bilion Kerajaan Negeri Sarawak. Walaupun terdapat sedikit salah faham, program ini terus dilaksanakan. Saya berharap di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang baharu, di dalam Keluarga Malaysia, tidak perlulah Kerajaan Negeri Sarawak terpaksa membayar hutang terlebih dahulu, barulah kita diberikan hak untuk membina sekolah baru. Saya juga berharap agar kerajaan mengambil serius berkenaan tentang pembangunan sekolah-sekolah daif yang mendesak ketika ini. Seterusnya, saya ingin menyentuh berkenaan tentang isu keselamatan sempadan dan perairan Laut China Selatan. Tuan Yang di-Pertua, dalam titah diraja tuanku, jelas menyatakan bahawa kerajaan perlu memantau keselamatan sempadan. Saya dalam beberapa siri perbahasan persidangan Dewan yang lepas turut membangkitkan isu berkaitan keselamatan sempadan Wilayah Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.
Kita tahu bahawa Indonesia sibuk untuk memindahkan ibu kota Indonesia ke Utara Kalimantan. Saya tidak cemburu, saya tidak takut ibu kota ini dipindahkan di Kalimantan tetapi saya ingin mendengar dan juga mendapat maklumat daripada pimpinan keluarga besar Malaysia adakah kita mempunyai rancangan yang teliti dari segi pulangan ekonomi dan juga untuk meningkatkan ketenteraan di sempadan Borneo dan Kalimantan. Adakah sempadan kita bersedia untuk dibangunkan daerah-daerah baharu untuk menandingi daerah ekonomi yang diwujudkan di Pos Lintas Batas Negara Indonesia ataupun pos sempadan? Jika kita lihat projek kompleks sempadan yang mereka bangunkan sungguh gah. Kerajaan Malaysia seharusnya menilai semula wajah pintu masuk Malaysia bagi tempoh lima ke sepuluh tahun yang akan datang di negeri Sabah dan juga Sarawak. Jurang wajah yang jauh berbeza contoh seperti Pos Sempadan Entikong di Badau kini berubah 100 peratus dan mereka juga sanggup membina pos sempadan seperti di kawasan di Long Nawang yang terletak di tengah-tengah ataupun di the center of Borneo yang kita tidak terfikir untuk membina sebuah pos sempadan yang begitu gah dan juga mewujudkan daerah ekonomi bagi masyarakat di Kalimantan Indonesia. Selain mengukuhkan kawalan sempadan melalui ketenteraan, kita juga harus memikirkan soal politik sempadan rentas negara ini dari sudut ekonomi dan juga pembangunan. Saya tidak mahu pada persidangan tahun 2050 sekiranya saya tidak ada di dalam Dewan ini saya khuatir Ahli Parlimen berbincang berkenaan rakyat Malaysia melintasi sempadan ataupun laluan tikus untuk mendapatkan pekerjaan di Kalimantan, Indonesia.
Seterusnya, isu yang sangat dekat di hati saya adalah berkenaan tentang pencerobohan kapal peronda Republik China yang paling sinonim di kawasan Beting Patinggi Ali. Tuanku telah bertitah bahawa sempadan haruslah dijaga. Apa yang membimbangkan saya, kapal pengawal pantai China berada hampir dengan aset penting negara seperti floating storage of loading di blok SK10. Jelas kekerapan kapal-kapal China ini adalah bertujuan mengintai kekayaan sumber minyak dan gas yang terdapat di perairan Sarawak di terumbu perairan dan juga kawasan seperti terumbu James Shoal Blok SK 10 mempunyai tiga lapangan minyak seperti Helang, Layang dan Beryl yang terletak 70 kilometer dari daratan Miri. China pula terletak lebih 2,000 kilometer dari kawasan tersebut. Apakah itu bukan pencerobohan? Ini adalah pencerobohan depan mata, mana boleh kita tengok sahaja. Pada Mei 2021, 16 buah pesawat tentera udara China memasuki ruang udara di Sabah dengan membuat formation melintasi Beting Patinggi Ali. Juga, kapal China itu tidak cukup hanya menghantar kapal pengawal, tetapi berlagak menghantar Xiang Yang Hong 10 kapal penyelidik di North Laconia Gugusan Terumbu Raja Jarum yang boleh membawa 24 anggota tentera dan juga 44 saintis penyelidikan. Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan berkenaan tentang isu MA63. Di dalam memorandum yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia bersama dengan Pakatan Harapan telah meletak item kelima di dalam lampiran berkenaan tentang MA63. Saya mengucapkan terima kasih. Apa yang ingin saya tegaskan adalah sudah perlu kerajaan untuk melaksanakan MA63. Kita telah mempunyai steering committee dan juga jawatankuasa khas. Gunakan jawatankuasa khas yang sedia ada untuk menyelesaikan perkara-perkara yang telah berbangkit. Antara perkara-perkara tersebut adalah berkenaan tentang royalti minyak dan Bayaran Tunai Geran Khas, Perkara 112D perlu dibincang dan diputuskan jumlah tunggakan dan jumlah baharu yang sepatutnya diterima dan dipastikan kajian dibuat setiap lima tahun. Akta Laut Wilayah perlu dilihat semula, kerajaan negeri tidak pernah setuju Akta Plantar Benua 1966 [Akta 83] perlu disemak setelah ISA dimansuhkan. Akhir sekali, saya berharap satu cadangan kecil Tuan Yang di-Pertua agar pihak Parlimen dapat menyediakan satu salinan bercetak Perjanjian Malaysia 1963 sebanyak 230 muka surat dan juga Inter-Government Committee Report 1962 dibukukan dan juga diletak di atas meja setiap Ahli Parlimen sebagai rujukan dan juga mempermudahkan dan untuk kita menghayati kandungan perjanjian tersebut. Akhir sekali, bagi kawasan Parlimen Sibuti, saya memohon kepada Yang Berhormat Menteri supaya melihat permohonan berkenaan status bina baru klinik kesihatan jenis 2 di tapak tanah sedia ada di Sepupok, Niah. Satu lagi perkara yang ingin saya tanya kepada Dewan adalah berkenaan status pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah Subis yang telah ditawarkan tender SK Kampung Selanyau yang saya tidak tahu bilakah dimulakan dan juga SK Kampung Bulau yang sepatutnya dibina melalui pembinaan kaedah CSR oleh Pan-Borneo. Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua. Saya menyokong Titah Diraja, sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sibuti. Yang Berhormat Sepanggar.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih ke atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta mengambil bahagian di dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 September yang lalu.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum Sabah dan Sarawak bersedia untuk membentuk Malaysia, mereka telah mengkaji beberapa tuntutan demi menjaga kepentingan dan hak mereka. Tuntutan inilah yang dikenali sebagai Perjanjian 20 Perkara untuk Sabah dan 18 untuk Sarawak. Berdasarkan dua perjanjian ini, maka terbentuklah Perjanjian Malaysia Tahun 1963, tadi rakan saya Yang Berhormat Sibuti pun sentuh tentang MA63. Namun, Perjanjian Malaysia tahun 1963 yang sepatutnya disemak semula selepas 10 tahun daripada tarikh perjanjian tidak pun disemak. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan memperkenalkan pula Akta Pembangunan Petroleum (PDA) Tahun 1974 yang menjadi permulaan jelas kepada hakisan hak-hak Sabah. Bukan itu sahaja, dua tahun selepas itu Sabah dan Sarawak juga diturunkan taraf daripada rakan sekutu Persekutuan Tanah Melayu kepada negeri-negeri di dalam Malaysia. Namun, setelah 58 tahun berlalu, setiap kali sesi persidangan Dewan Rakyat Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak sentiasa menyuarakan mengenai jurang perbezaan pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan, perubatan di antara Sabah dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Malahan, setelah 58 tahun kerajaan Malaysia dibentuk, Tuanku Agong di dalam titahnya masih lagi mengingatkan berkenaan pentingnya jurang pembangunan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia perlu dirapatkan. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, ketika saya sedang berbahas di Dewan yang mulia ini, hari ini kawasan Parlimen saya contohnya di Universiti Condo Apartment (UCA), Taman Bandar Sierra, Taman Jaya Diri, Taman Rimba, Taman Indah Permai dan beberapa lagi taman dan kampung di sekitar Parlimen Sepanggar sudah berbulan menghadapi masalah air terputus menyukarkan kehidupan harian mereka pada ketika mereka juga kena mengurangkan pergerakan sepanjang musim pandemik ini. Ini kerana isu ketidakmampuan loji air yang sedia ada menampung penggunaan yang semakin meningkat. Saya harap kerajaan menyediakan peruntukan secukupnya dan secepatnya agar loji tambahan dapat disiapkan secepatnya dan Yang Berhormat Kinabatangan selaku Yang Berhormat Menteri yang bertanggungjawab menjaga Hal Ehwal Bekalan Air di Sabah dapat menyediakan pelan jangka pendek untuk membantu rakyat yang terkesan disebabkan ketiadaan bekalan air sejak beberapa bulan ini di Sepanggar sementara menunggu siapnya loji Talibung 2. Tuan Yang di-Pertua, semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan Plus, kerajaan telah pun meluluskan 17 daripada 21 perkara yang dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia Tahun 1963. Saya difahamkan secara prinsip juga Kabinet pada ketika itu telah bersetuju untuk menyelesaikan baki empat perkara yakni isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum mineral minyak dan medan minyak, persoalan mengenai Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] dan hak-hak negeri ke atas pelantar benua. Oleh yang demikian, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri sewaktu beliau dilantik menjadi Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, beliau telah memberi jaminan bahawa isu MA63 ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan dan sekarang sudah hampir dua tahun masih belum ada apa-apa perkembangan berkenaan dengan empat perkara yang belum sempat diselesaikan oleh kerajaan sewaktu dahulu. Apakah status terkini perbincangan mengenai pelaksanaan MA63 dan apakah ia akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari sejak Yang Berhormat Menteri dilantik kali kedua sebagai Yang Berhormat Menteri yang dipertanggungjawabkan? Kedua, adakah kerajaan baharu ini akan mengekalkan pendirian untuk tidak mendedahkan kepada umum Laporan Akhir Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia Tahun 1963? Ketiga, adakah kerajaan sedar ataupun tahu bahawa penubuhan Malaysia pada tahun 1963 adalah berdasarkan kepada, mohon izin principle of equality and self- determination in line with the principle enunciated in the charters of United Nations General Assembly Resolution 1514.
Under principle six of the United Nations 1541, there are three methods to reach full measure of self-government either by emergence as a sovereign independent state or free association with an independent state or integration with an independent state. Sabah pada ketika itu Tuan Yang di-Pertua telah memilih pilihan ketiga iaitu through integration with an independent state. Namun seperti dikehendaki oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia hendaklah menghantar laporan kemajuan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu. Dimaklumkan kepada saya bahawa satu laporan pun tidak pernah dihantar setelah Persekutuan Malaysia dibentuk pada September 1963. Oleh itu, saya mohon penjelasan daripada kerajaan sama ada perkara ini benar atau tidak dan sekiranya benar, mengapa tidak dibuat dan apakah implikasi undang-undang yang bakal berlaku? Menyentuh mengenai MoU di antara kerajaan dan pihak pembangkang. Tuan Yang di-Pertua, sekali ditegaskan bahawa kami tidak pernah dilibatkan daripada awal tentang perbincangan MoU ini dengan kerajaan dan jika adapun sekadar jemputan untuk di taklimat kan persetujuan MoU ini dengan kerajaan. Ini mungkin berlaku disebabkan kami bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan. Kami tidak dilibatkan daripada peringkat awal. Namun Parti Warisan, kami tiada halangan untuk menyokong transformasi-transformasi di bawah MoU di antara kerajaan dengan pihak pembangkang selagi mana ia memberi manfaat kepada rakyat pada keseluruhannya. Kita perlu menghormati dan meraikan akan perbezaan pendapat kerana mungkin rakan-rakan dalam blok pembangkang melihatnya dari sudut pandangan yang berbeza. Namun kami di pihak Warisan, jangan pula dikatakan tidak mengutamakan kepentingan rakyat, tidak menyokong transformasi kerajaan dan Parlimen dan kononnya tidak patuh kepada saranan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar fokus kepada pemulihan negara wajar diutamakan. Perlu juga diingatkan, bahawa ketidakstabilan kerajaan berpunca daripada Langkah Sheraton dan diikuti oleh perpecahan dalaman dalam Kerajaan Perikatan Nasional itu sendiri. Ia bukan disebabkan oleh blok pembangkang yang mana sepatutnya MoU di kalangan Kerajaan Perikatan Nasional itu yang perlu ditandatangani. Sebagai anggota pembangkang, peranan semak dan imbang harus diperkasakan bukan dilemahkan. Sebarang perjanjian berkemungkinan akan mengikat kebebasan kami untuk mempersoalkan dasar dan pelaksanaan yang dibuat oleh kerajaan. Sebagai contoh Tuan Yang di-Pertua, menyentuh mengenai Pemerkasaan Pelan COVID-19, tambahan dana sebanyak RM110 bilion. Jika ia untuk kepentingan rakyat, yang mana kita semua tahu amat terkesan, tidak akan kita selaku wakil rakyat tidak memberikan sokongan. Namun jauh lebih penting daripada itu juga sebagai memenuhi proses semak dan imbang, kita perlu juga tahu bagaimana wang itu akan dibelanjakan, daripada mana sumber itu diperolehi? Apakah akan ada mekanisme untuk memastikan agar golongan sasar dapat dibantu dan akhir sekali, daripada mana sumber ini diperolehi? Perlu Dewan ini dimaklumkan juga bahawa dalam tempoh dua tahun Kerajaan Perikatan Nasional memerintah, sebanyak lebih RM530 bilion telah dibelanjakan melalui pakej-pakej rangsangan, di mana kita sebagai Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini bersetuju bahawa hasil dan impaknya kepada rakyat dan negara masih belum kelihatan. Bukankah kita sebagai Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini juga bersetuju bahawa kita perlu memastikan setiap sen duit rakyat yang dibelanjakan termasuklah wang tambahan yang kita setuju untuk diluluskan di masa akan datang perlu menepati sasaran dan tiada ketirisan dan penyalahgunaan dana awam. Bukankah agak melucukan bagi kita diminta untuk setuju dahulu,... [Tidak jelas] kemudian dan jika tidak menepati cita rasa, kita tarik MoU itu. Sebelum ini juga, kita sering mengatakan Kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan tebuk atap, kerajaan pintu belakang dan rakyat bertanya, adakah dengan MoU ini secara tidak langsung kita mengiktiraf akan kewujudan kerajaan yang merampas mandat rakyat ini? Persoalan seumpama inilah yang mengakibatkan rakyat di luar sana keliru akan tindak tanduk kita sebagai pemimpin.
Mengenai undi 18 Tuan Yang di-Pertua, sukar saya mengingatkan bahawa apabila Undi 18 diluluskan di Dewan Rakyat ini semasa Kerajaan PH memerintah negara, sewaktu Kerajaan Warisan di Sabah, Sabah adalah negeri pertama yang meminda perlembagaan negeri dengan meluluskan di Dewan Undangan Negeri pelaksanaan Undi 18. Oleh itu, mengatakan bahawa Warisan tidak menyokong transformasi khususnya Undi 18 itu adalah tidak benar. Tuan Yang di-Pertua, apa yang mengecewakan bagi saya sebagai wakil rakyat dari Sabah adalah berkenaan dengan Perjanjian Malaysia tahun 1963. Bukan sahaja ia diletakkan di poin yang paling akhir untuk dilaksanakan, malah tidak ada satu time frame bila akan bermula dan bila akan dilaksanakan. Ini tidak berlaku dengan transformasi- transformasi lain di dalam MoU ini yang mana jelas diletakkan tarikh pelaksanaannya. Di sini Tuan Yang di-Pertua saya ada salinan MoU tersebut. [Sambil menunjukkan senaskah dokumen] Klausa 1.1 hingga 1.7, “Hendaklah dilaksanakan dalam tempoh penggal keempat”. Klausa 2.1 hingga klausa 2.3 “Hendaklah tidak lewat daripada Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen”. Klausa 3.2 hingga klausa 3.6 “Hendaklah dilaksanakan dengan serta-merta”. Akan tetapi apabila menyentuh tentang MA63, hanya tiga baris ayat sahaja. Seolah-olah hanya sekadar menyedapkan hati rakyat negeri Sabah tentang isu MA63. Suka saya ingatkan dalam Dewan Rakyat ini, kenyataan dan ayat yang ditulis dalam MoU ini tidak ada bezanya dengan manifesto-manifesto Barisan Nasional sejak 60 tahun memerintah negara kita bila menyentuh tentang MA63. Suka juga saya jelaskan dan ingatkan kepada Yang Berhormat Bera, bahawa janji Presiden parti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri sewaktu pilihan raya kecil Kimanis di mana beliau telah bersumpah dengan nama Allah bahawa jika UMNO kembali ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri, Perjanjian Malaysia 63 akan dilaksanakan 100 peratus dan serta-merta. Terakhir berkenaan dengan peruntukan yang setara kepada semua Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani MoU ini. Pertamanya, kita perlu jelas bahawa peruntukan ini bukan untuk Ahli Parlimen tetapi ia untuk rakyat di Malaysia di kawasan tidak kira ia wakil rakyat kerajaan mahupun Pembangkang. Itu hak mereka, kita hanya menjadi perantara bagi menyalurkan peruntukan tersebut kepada mereka. Jika benar kerajaan ingin melaksanakan transformasi kekal ini, peruntukan kepada semua Ahli Parlimen yang menang perlu dilaksanakan kerana ini adalah obligation, kewajipan dan tanggungjawab kerajaan untuk menyalurkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat khususnya dalam mendepani, mengharungi cabaran hidup akibat pandemik COVID-19 ini. Kita jangan hukum rakyat hanya kerana Ahli Parlimen mereka berada dipihak pembangkang. Bukankah memberikan imbuhan sebagai balasan kepada sokongan itu ada unsur-unsur rasuah. Tuan Yang di-Pertua, menyentuh tentang akta lompat parti. Saya ingin mengulas sedikit mengenai akta lompat parti yang bakal dibawa ke Parlimen untuk diluluskan. Sewaktu pilihan raya negeri Sabah tahun lalu, parti yang membentuk kerajaan gabungan rakyat Sabah ini berlawanan di antara mereka dan bertanding di kerusi yang sama. Manakala Warisan dan rakan sekutunya telah bersetuju untuk bertanding di atas tiket Warisan dan telah pun memenangi kerusi terbanyak. Jikalau mengikut perlembagaan negeri Sabah, parti yang memiliki kerusi terbanyak sewajarnya menjadi kerajaan. Sebaliknya apa yang berlaku adalah mereka yang telah bersaing dalam pilihan raya negeri baru-baru itu yang telah berlawan sesama sendiri telah membentuk kerajaan yang dipanggil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sehari selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah diketahui. Perlu diingatkan bahawa GRS ini bukanlah pertubuhan yang berdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebagaimana Barisan Nasional. Oleh itu saya menggesa agar dalam merangka akta lompat parti kelak, tafsiran perlembagaan perlu diselaraskan agar tiada perlanggaran, baik perlembagaan negeri dan Perlembagaan Persekutuan apabila sesebuah parti politik yang membentuk kerajaan kelak, agar tidak berlaku perlanggaran perlembagaan. Malah perlu ada clarity daripada
segi tafsiran parti yang memenangi kerusi terbanyak sewajarnya menjadi kerajaan tidak lagi berbangkit pada masa akan hadapan. Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana masa tidak mencukupi sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan yang mulia ini kerana telah memberikan peluang kepada saya. Akhir sekali, saya suka menyebut semula apa yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menasihati agar kesemua Ahli-ahli Yang Berhormat tidak sama sekali meletakkan masa hadapan negara dan rakyat sebagai taruhan dan percaturan untuk mencapai agenda tertentu. Harapan saya agar Ahli Parlimen di sebelah sana tidak lagi cuba untuk menghuru-harakan negara dan meletakkan kebajikan rakyat serta pembangunan negara sebagai keutamaan. Sekian Tuan Yang di- Pertua, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sepanggar. Sekarang Yang Berhormat Padang Rengas. Selepas Yang Berhormat Padang Rengas, Yang Berhormat Lembah Pantai, diikuti Yang Berhormat Baling dan Yang Berhormat Puchong. Yang Berhormat Padang Rengas, silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya pertama sekali mahu bahas berkenaan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi berkenaan dengan pemberian hak kerakyatan kepada seorang anak yang dilahirkan di luar negara dan ibunya sahaja merupakan rakyat Malaysia. Oleh kerana berdasarkan kepada itu sahaja, maka dia tidak dapat menjadi rakyat Malaysia. Pertama sekali saya hendak sebut ini merupakan satu diskriminasi yang mana disebut oleh rakan saya sebelah saya ini. Diskriminasi terhadap wanita. Jadi, kepada saya untuk menghukum kaum wanita, anak mereka tidak akan menjadi warga negara semata- mata kerana mereka bernikah dengan orang luar dan anak dilahirkan di luar negara. Ini satu bentuk diskriminasi yang tidak sepatutnya wujud dalam masa kita berada dalam tahun 2021. Pada saya ini satu medieval thinking dan dia memang begitu jelas sekali merupakan diskriminasi terhadap kaum wanita. Saya terbaca dalam satu laporan dalam internat berkenaan dengan gen atau pun DNA seorang anak yang dilahirkan kepada ibu bapa. Sebenarnya, daripada segi darah dia 50-50. Tidak ada pula kalau keluar anak, maka bapa itu mungkin mempunyai 70 percent daripada darah dia dan wanita 30 percent. Tidak betul itu. Dia 50-50. Kalau ini merupakan satu perkara yang telah pun dikaji dan didapati betul, maka tidak berbangkitlah soal seseorang itu tidak merupakan pure kepada negara itu kerana ibunya melahirkan dia di luar negara dan dianggap sebagai bapa nya itu orang luar negara. Makanya, dia berhak menjadi warganegara, negara bapanya. This is medieval thinking dan tidak sepatutnya pun dilayani pada tahun 2021. Oleh sebab itulah saya tidak bersetuju kalau sekiranya kerajaan membuat rayuan di atas keputusan yang telah dibuat oleh hakim di Mahkamah Tinggi. Saya langsung tidak bersetuju. Kerana apa? Kebiasaannya, iaitu rayuan ini selalunya diberikan kepada pihak defendan. Kalau di peringkat Mahkamah Tinggi, hakim telah mendapat bahawa seseorang itu berjaya dalam dia membawa satu kes terhadap kerajaan ataupun dia minta kepada hakim untuk membuat satu keputusan. Kalau dia tidak memihak kepada orang yang merayu, maka saya kira hak untuk merayu itu diberikan kepada orang yang membawa kes terhadap kerajaan. Akan tetapi apabila Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan, maka kepada saya, kerajaan tidak perlu merayu. Tidak perlu merayu kerana seperti saya sebut, rayuan itu selalunya diberikan kepada orang yang kalah dalam kes dia membawa terhadap kerajaan ataupun kerajaan mendakwa dia di bawah Akta Kanun Keseksaan. Jadi, saya mintalah kerajaan, adalah ihsan terhadap kaum wanita kita dan juga kepada anak yang tidak berdosa. Anak ini bukan dia boleh minta dalam perut emak dia memohon supaya dilahirkan di Malaysia. Dia tidak ada keupayaan dan bukan sahaja kita melakukan diskriminasi terhadap kaum wanita tetapi juga kita melakukan satu kesalahan
kepada bayi yang dilahirkan yang tidak berdosa dan tidak tahu menahu langsung bahawa kalau dia dilahirkan di luar negara, maka dia tidak boleh menjadi warga negara Malaysia. Saya terbaca jawapan yang telah diberi iaitu oleh pihak kerajaan mengatakan iaitu bahawa tidak boleh ada dwi warganegara. Setahu kita, seorang bayi itu apabila dia membesar dan mencapai umur 18 tahun, dia boleh buat keputusan sama ada mahu menjadi warganegara di negara yang dia dilahirkan ataupun mahu menjadi warganegara mengikut ibu dan bapa dia. That is a choice given kepada mereka yang sudah sampai kepada umur 18 tahun. Kalau itulah jawapan kementerian kepada pihak yang memohon untuk menjadikan anaknya warganegara Malaysia iaitu kerana awak dilahirkan di luar negara. Maka, you are the citizen of the country where you were born, I think that’s not right. Ini kerana hak memilih untuk menjadi warganegara akan terdapat kepada seseorang individu apabila dia berumur 18 tahun. Apabila dia 18 tahun, dia ada pilihan. Jadi, saya rasa sebenarnya pihak kerajaan tidak ada apa-apa alasan. Melainkan apa yang dilakukan ini merupakan satu pemikiran medieval thinking. Jadi, saya seperti juga Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor bersetuju supaya kalau boleh, kerajaan ini mesti bersikap sayang keluarga Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri yang baharu iaitu we are all one family, Tetapi from the very beginning dengan izin you have rejected a genuine person who wants to be a Malaysian tanpa memberi hak kepada dia untuk memutus. I think that is not fair and I think - saya fikir kerajaan tidak bersikap sepertimana yang dimahukan oleh Perdana Menteri iaitu kita adalah keluarga besar yang sepatutnya bukan kita mengurang keluarga kita tetapi kita menambah. Apatah lagi kepada seorang yang tidak bersalah dalam soal dia hendak menjadi warganegara Malaysia. Jadi, saya minta kepada kerajaan tarik balik. No point. Kalau kita teruskan dengan ini, seolah-olah kita needless. Perkataan bahasa Inggeris needless, tidak perlu. Saya tengok di kerajaan negara lain, kalau rakyat dia ataupun rakyat Malaysia dilahirkan di Amerika mereka akan cari, genap 18 tahun ikut rekod. Kalau dia lahir di Amerika, mereka akan cari budak itu. Kerana apa? Kerana mereka hendak tuntut income tax dia. Macam itu lah yang patut kita fikirkan. We need more. Bukan kita hendak mengurang. Yang Berhormat Langkawi pun kata kita hendak 70 juta waktu dia menjadi Perdana Menteri 1.0 dahulu. Jadi, itulah rayuan saya kepada kerajaan. Tidak payahlah melanjutkan lagi perkara ini dan tarik serta-merta supaya dapat mendatangkan keadaan –
Minta izin. Yang Berhormat Muar.
Ya, Yang Berhormat Muar.
Terima kasih Yang Berhormat Padang Rengas. Saya rasa apa yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Padang Rengas tepat, benar dan wajar dipertimbangkan oleh kerajaan. Saya tahu Yang Berhormat Padang Rengas banyak menyokong usaha dwipartisan sebelum ini termasuk pindaan perlembagaan undi 18. Apabila bekas Menteri Undang-undang telah pun bersuara berkenaan isu ini. Menteri Undang-undang pada hari ini pun berpendirian yang sama. Saya berharap kita boleh cari titik tengah untuk persefahaman di antara kerajaan dan pembangkang untuk memastikan bahawa apa yang diucapkan oleh Yang Berhormat Padang Rengas diambil secara serius dan tarik semula sebelum terlambat. Terima kasih.
Terima kasih kerana Yang Berhormat Muar ini sokong apa yang saya sebut. Saya juga hendak ucapkan tahniah kepada pihak pembangkang kerana di atas kesudian untuk membantu kerajaan pada hari ini dengan mengadakan perjanjian MoU CSA di antara pembangkang dengan kerajaan. Walaupun kita tahu iaitu bahawa ini tidak mengehadkan mereka daripada mengkritik kerajaan dalam isu-isu tertentu yang ada perbezaan pendapat di antara kerajaan dengan pembangkang.
Saya ucapkan tahniah kepada pembangkang. Dalam CSA itu juga menekankan tentang apa yang dikatakan reformasi Parlimen. Ketua Pembangkang tidak ada, saya tidak takut hendak sebut reformasi kerana walaupun dia banyak berkait dengan Ketua Pembangkang tentang reformasi ini, kalau benda itu bagus kita buatlah. Saya lihat perlu pada reformasi di Parlimen ini. Saya hendak menekankan tentang apa yang disebut oleh Yang Berhormat Sepanggar tadi iaitu peruntukan yang diberikan kepada rakyat, tidak usah kira sama ada pembangkang ataupun kerajaan, mesti sama. Saya percaya kedua-duanya dipilih oleh rakyat dan peruntukan ini merupakan satu tindakan yang pro-rakyat dan memang betul iaitu bahawa tidak perlu kita mendiskriminasikan di antara Ahli Parlimen Kerajaan ataupun Ahli Parlimen Pembangkang. Ini kerana semuanya itu akan pergi kepada rakyat dan bantuan ini mesti diberi kerana rakyat tidak bersalah dalam dia memilih kerana kita mengamalkan demokrasi. Itu pertama. Keduanya, dalam reformasi Parlimen ini saya harap penggal yang kita tentukan iaitu setiap lima tahun, saya minta kalau boleh kita bersetuju lima tahun, maksudnya lima tahun. Five years means five years. Ini kerana apa, ini kerana ia membolehkan kita merancang dan lima tahun ini kita hendak membantu rakyat untuk merancang. Akan tetapi kalau kita kata lima tahun selepas tiga tahun kita buat pilihan raya umum, ini seolah-olah memberikan kelebihan kepada sebuah parti yang bentuk kerajaan untuk menggunakan peruntukan dalam Election Commission untuk kepentingan mereka. Lebih daripada itu sebenarnya kita menipu rakyat kerana kita beritahu kepada rakyat kita ada PRU ini dan wakil yang kita pilih itu akan mewakili kita lima tahun. Tidak semena-mena selepas dua tahun kita ada pilihan raya. Secara tidak langsung kita sebenarnya menipu rakyat. Sebab itu pada saya, saya harap dalam kita yang telah diperjanjikan di antara kerajaan dan pembangkang iaitu bahawa kita akan cuba reform-kan Parlimen ini satu perkara yang saya rasa perlu dibincang dan diputus bersama untuk menerima ialah five years means, five years. Jadi ini akan membantu kita untuk membuat perancangan selama lima tahun dan keduanya kita boleh juga pada setiap tahun memberikan allocation kepada Election Commission untuk perbelanjaan PRU yang sudah tahu memang akan berlaku pada akhir setiap lima tahun. Kalau tidak kalau dia mengejut mana hendak cari duit lagi? Sekarang ini hendak belanja election PRU RRM1 bilion. Akan tetapi kalau kita boleh rancang lima tahun, tidak berubah, maka setiap tahun kita boleh allocate, RM200 juta, RM200 juta sampai lima tahun sudah RM1 bilion, duit sudah ada. Keduanya, saya hendak minta supaya dalam reformasi Parlimen ini, Perdana Menteri ini biar dua penggallah seperti mana yang dilakukan di Amerika Syarikat, Presiden Amerika, empat tahun. Kerana apa? Untuk mengelak daripada dikumpulkan kuasa kepada satu orang kalau sekiranya dia boleh menjadi Perdana Menteri lebih dari dua penggal. Macam mana? Penggal pertama dia jadi Perdana Menteri, apa kerja dia? Kerja dia akan cultivate iaitu civil servant semua akan rasa takut kepada dia dan dengar cakap dia dengan memanggil KSN, cultivate KSN itu dan suruh dia menyediakan pengganti dia. Jadi maknanya satu kuasa itu boleh dikumpulkan kepada satu individu, kalau dia dibenarkan boleh menjadi Perdana Menteri tidak kira dua penggal pun. Dia boleh guna wang untuk hendak bantu ahli parti dia. Banyaklah kita tengok apa yang boleh berlaku kalau sekiranya Perdana Menteri itu duduk lama di dalam jawatan dia sebagai Perdana Menteri. Dia boleh kumpul kuasa dan akhirnya dia akan jadi diktator secara tidak langsung. Kita tengok di banyak negara Afrika. Walaupun dalam perlembagaan mengatakan dia cuma boleh bertanding dua kali sahaja, tetapi sebaik sahaja dia pegang jawatan itu, masuk penggal kedua, dia sudah mula cari jalan macam mana untuk pinda perlembagaan untuk membolehkan dia lagi bertanding sebagai Presiden kerana jelas dua penggal tidak cukup untuk dia hendak mengumpul kuasa dia. Jadi inilah di antara perkara yang saya hendak sebut supaya nanti bawa, kita boleh bahas dan kita terima untuk kebaikan negara kita, kita reform Parlimen kita ini.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya tidak berhajat untuk bercakap panjang lagi, terima kasih. Padang Rengas menyokong usul titah Yang di-Pertuan Agong.
Terima kasih Yang Berhormat Padang Rengas. Yang Berhormat Lembah Pantai.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Lembah Pantai turut bersama untuk membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dan kita pasti sedar hari ini kita masih berada dalam dengan izin, unprecedented times, satu zaman ataupun ketika di mana kita tidak pernah tempuhi sebelum ini. Saya sebelum kembali ke Dewan telah pergi makan tengah hari di Bangsar untuk bercakap dengan beberapa peniaga di situ dan mereka mengatakan, kalau dibandingkan sekarang dengan tahun lalu, memang waktu PKP pertama tahun lalu, mood business pada waktu itu masih okey, tetapi hari ini keadaannya sangat tenat dan kalau kita lihat banyak perniagaan yang sangat terkesan. Apatah tidaknya apabila kita lihat setakat hari ini 2.1 juta orang telah terkesan dan telah dijangkiti COVID-19, tetapi pada masa yang sama 18.4 juta orang telah menerima dua dos vaksin. Walau bagaimanapun, setakat hari ini 23,443 orang telah meninggal dunia. Ini adalah angka-angka yang besar yang penting yang memberikan kita kesedaran bahawa sebenarnya jumlah rakyat Malaysia yang telah terkesan akibat COVID-19 ini sangat besar jumlahnya. Malangnya hari ini kita lihat antara cabaran yang paling besar yang kita hadapi bagi kami Ahli-ahli Parlimen ialah kekangan data. Seperti yang saya sebutkan tadi, banyak daripada angka-angka ini tidak jelas, tidak granular, tidak ada perincian. Contoh polemik tentang angka kematian. Kita dimaklumkan contohnya melalui laman web COVIDNOW di bawah KKM, angka yang ratusan meninggal setiap hari itu hanya bermaksud yang telah disahkan setiap hari tetapi ia tidak bermaksud jumlah itu yang telah meninggal dunia. Namun apa yang disebut dengan jelas dalam laman web dan data yang diterbitkan ialah ada jumlah rakyat Malaysia ataupun bukan warganegara tetapi meninggal di Malaysia tetapi tidak dapat disahkan, has not been confirmed dengan izin sama ada mereka meninggal dunia akibat COVID-19 ataupun tidak. Angka itu kabur dan oleh sebab itu dia seakan-akan memberikan bayangan keadaan tidak begitu serius, tetapi sebenarnya realitinya ia masih serius. Jadi saya pohon Menteri Kesihatan untuk memberikan penjelasan adakah beliau akan mengusahakan supaya data-data yang diterbitkan ini lebih terperinci. Kalau boleh mengikut kawasan Parlimen, kami hendak tahu di kawasan Parlimen kami berapa ramai sebenarnya yang telah meninggal dunia. Kalau sebelum ini kita dapat data, contoh angka ataupun umur mereka yang telah meninggal dunia, hari ini tidak ada. Ramai rata-rata doktor-doktor yang menyatakan ini adalah satu keadaan yang agak serius. Saya sendiri melihat warga Lembah Pantai usia 20-an, 30-an, 40-an meninggal dunia. Jadi ini adalah satu perkara yang agak menyedihkan.
Boleh mencelah sedikit?
Sila, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Lembah Pantai. Berkenaan dengan data kematian COVID-19 ini, saya rasa ada beberapa perkara seharusnya kementerian kongsi dengan orang ramai untuk kita mengetahui kedudukan sekarang. Pertama, data berkenaan dengan mereka yang telah menerima vaksin dan kadar kematian. Kedua, kadar kematian akibat reinfection. Mereka yang pernah kena COVID-19 pertama kali dan apabila kena COVID-19 kali kedua. Apakah kadar kematian?
Ketiga, mereka yang memang ada antibodi COVID-19 tetapi juga kena COVID- 19 sekali lagi dan kadar kematian. Sekiranya kita ada data-data berkenaan, kita akan tahu kadar kematian seterusnya di kalangan mereka yang telah terima vaksin dan di kalangan mereka yang telah terdedah kepada COVID-19 dan kita akan dapat jangka ataupun unjurkan kedudukan pandemik sekarang dan akan boleh buat keputusan berkenaan dengan pembukaan ekonomi dengan berdasarkan kepada sains. Apa pandangan Yang Berhormat Lembah Pantai?
Terima kasih Yang Berhormat Gopeng. Saya sangat setuju dan saya sertakan ucapan beliau sebagai sebahagian daripada ucapan saya. Saya ingin teruskan. Ramai yang bertanya apa yang sebenarnya yang berlaku pada Hari Wesak yang lalu di mana laman web yang sepatutnya digunakan untuk membuta pendaftaran bagi suntikan AstraZeneca telah dengan izin total collapse, total failure. Jadi, saya pohon Yang Berhormat Menteri Kesihatan yang sepatutnya memberi jawapan dalam masa terdekat dalam sehari dua ini untuk memberi pada hari Khamis, 23 September tolong berikan penjelasan berapakah jumlah duit yang telah dibelanjakan— duit rakyat yang telah dibelanjakan untuk membangunkan laman web tersebut. Apakah sebenarnya yang telah berlaku? Tolong jelaskan kepada Dewan yang mulia ini sebenarnya apakah masalah kita dengan MySejahtera? Kenapa sampai ke hari ini contohnya ramai di kalangan kita yang masuk ke dalam Dewan ini yang log-in tetapi kita tidak log-out. Kita tidak diberikan peringatan. Malah ada yang seakan-akan tidur semalaman di Parlimen sebab tidak check- out dari Parlimen. Jadi apakah sebenarnya yang kita boleh lakukan supaya tidak payah kita fikirkan tentang super app, kita baikilah app yang kita ada sekarang ini? Saya ingin menyentuh isu sumber manusia kerana ramai yang mengadu pada saya mengatakan mereka telah diarah untuk kuarantin tetapi majikan terus tetap memotong gaji mereka. Jadi saya pohon Yang Berhormat Menteri untuk menyatakan apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu pekerja-pekerja yang telah terkesan akibat mereka mungkin ahli keluarga yang dikenakan Home Surveillance Order tetapi mereka ahli-ahli keluarga yang lain yang sepatutnya bekerja diarah untuk kuarantin di rumah kerana mereka close contact dan mereka tidak terima gelang pink. Jadi mereka terus dipotong gaji. Apa yang boleh mereka lakukan? Apakah yang pihak kerajaan boleh lakukan untuk pastikan syarikat-syarikat yang sangat terkesan akan terus mendapat bantuan yang secukupnya khusus melibatkan Program Subsidi Upah. Saya ingin bertanya kepada Menteri Pendidikan berapakah jumlah laptop yang telah dihantar setakat hari ini? Apakah yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan kerana laptops ini hanyalah pinjaman kepada pelajar-pelajar? Jadi, adakah pada tahun hadapan sekiranya laptops ini tidak boleh digunakan lagi, apakah yang akan dilakukan? Adakah pihak kerajaan berhasrat untuk meningkatkan jumlah pemberian laptop ataupun mungkin peranti-peranti yang berbeza asalkan bukan handphone yang boleh terbakar? Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian kerana dalam Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ada menyentuh tentang isu jalur lebar. Akan tetapi yang saya hendak sentuh bukan jalur lebar tetapi berkaitan dengan isu 5G rollout, pelaksanaan network 5G. Kita sedar hari ini sekiranya kita ingin laksanakan Parlimen hibrid pada masa yang sama anak-anak kita mengadakan PdPR definitely line itu sangat lembap. Jadi, apakah yang pihak kerajaan khususnya Menteri Komunikasi dan Multimedia akan lakukan untuk pastikan masalah internet lembap ini dapat kita selesaikan. Bukan setakat masalah jaringan yang mungkin tidak lengkap bagi sesetengah negeri dan juga masalah connectivity akibat dari menara-menara telco yang tidak dapat berfungsi, akibat daripada masalah power supply dengan izin, tetapi apakah yang akan dilaksanakan. Berkaitan dengan 5G rollout, apakah sebenarnya yang akan dilakukan khusus berkait ataupun berhubung Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk meminimumkan risiko tingkah laku anti persaingan berdasarkan kepada laporan DT Economics yang bertajuk Safeguarding the Road to 5G in Malaysia . Kenapakah pihak
kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan dual consortium model seperti yang berlaku di sesetengah negara lain seperti di Singapura. Sila beri penjelasan. Saya juga ingin bertanya Menteri Pelancongan Seni dan Budaya...
Minta izin Yang Berhormat.
Ya, sila, sila Yang Berhormat Muar.
Saya bersetuju dengan keresahan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Lembah pantai. Ini isu yang teramat serius kerana isu 5G melibatkan connectivity, pendidikan, masa depan negara, e- commerce dan yang lain. Akan tetapi buat pertama kali di mana Malaysia depart from international standards melalui almost a single monopoly network yang dikendalikan oleh Digital Nasional Berhad walhal sebelum ini apabila kita buat rollout 4G, kerajaan dapat pungut dalam RM4 bilion ke RM7 bilion dan akhirnya melalui proses open tender atau open bidding system ini, kerajaan menggunakan dana tersebut yang dipungut oleh telco untuk bina rural internal infrastructure. Akan tetapi kini kerajaan pula yang perlu membayar dalam RM11 bilion ke RM15 bilion wang rakyat. Saya berharap bahawa perkara ini— it’s not something small. Yang Berhormat Lembah Pantai telah pun tekankan perkara yang sangat penting. Saya berharap ada usaha dwipartisan Public Accounts Committee (PAC) perlu siasat dan dapat kebenaran berkenaan perkara ini kerana ini melibatkan masa depan negara kita. Terima kasih.
Saya sangat bersetuju dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Muar dan saya masukkan sebagai sebahagian daripada ucapan saya. Saya harap bukan sahaja Yang Berhormat Menteri dapat jawab tetapi sebenarnya isu DNB ini dan juga 5G roll out ini sepatutnya dibawa ke Parlimen dan kita letakkan di dalam satu jawatankuasa yang khas kerana ia melibatkan prasarana, masa depan negara dan ia melibatkan satu jumlah yang sangat besar dan kita tidak boleh menyaksikan usaha itu gagal. Jadi, saya setuju. Saya ingin menyentuh dalam minit-minit terakhir ini tentang usaha reformasi Parlimen. Saya setuju dengan Yang Berhormat Padang Rengas yang telah tidak ada di tempatnya lagi bahawa memang perkataan reformasi Parlimen itu tidak dimasukkan tetapi dalam bahasa Inggeris tidak apa, dalam bahasa Melayu tidak boleh. Bahasa Melayu dia kena gunakan transformasi ataupun penambahbaikan Parlimen. Akan tetapi dalam bahasa Inggeris kalau baca dalam MoU itu telah dinyatakan Parliamentary Reforms. Jadi, banyak daripada isu yang berbangkit tentang sama ada dengan izin constituency development fund ataupun peruntukan untuk Ahli-ahli Parlimen boleh diselesaikan sekiranya Parlimen itu benar-benar bebas. Bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri, terpaksa memohon dana daripada Menteri Kewangan. Jadi, saya amat mengalu-alukan sahabat saya Yang Berhormat Santubong, Menteri untuk mengusahakan. Kami akan sokong supaya Parlimen ini benar-benar menjadi bebas daripada pihak eksekutif dan tidak lagi menjadi rubber stamp, tidak lagi akan mengikut telunjuk semata-mata yang diarahkan oleh pihak kerajaan. Maka Parlimen perlu bebas dan kita sekiranya benar-benar bebas, maka kita boleh letakkan jumlah peruntukan untuk semua Ahli Parlimen. Itu saya rasa jalan yang terbaik. Dalam saat-saat yang terakhir ini saya ingin menyentuh satu berita yang agak menggegarkan hari ini bila masa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan media bahawa tiga pegawai SPRM telah ditahan reman selama enam hari daripada 14 September hingga ke hari ini atas dakwaan terlibat dalam isu penyelewengan urusan kes seorang ketua bahagian. Saya ingin Yang Berhormat Menteri yang berkaitan untuk menjawab adakah ini melibatkan kes Datuk Hasanah Abdul Hamid daripada organisasi Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang telah dilepaskan daripada kes mahkamah pada 12 April yang lalu dalam isu penyelewengan USD12.1 juta. Saya pohon kerana ia melibatkan tangkapan SPRM oleh SPRM, maka ada persoalan besar yang mesti dijawab. Saya sokong sahabat-
sahabat saya yang lain yang menyatakan bahawa SPRM itu sendiri itu perlu bebas dan perlu menjawab kepada Parlimen. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Lembah Pantai. Seterusnya Yang Berhormat Baling.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian. Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui Titah Baginda dan patik mengamati sedalam- dalamnya. Sesungguhnya sangat padat lagi bernas nasihat dan Titah oleh Baginda Tuanku mencerminkan keprihatinan dan kebijaksanaan Baginda dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa diutamakan dan dipelihara. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Bera yang begitu prihatin kepada keluh kesah rakyat malah mendengar denyutan nadi rakyat.
Semalam, 19 September 2021, dalam kenyataan media Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyatakan kerajaan memperuntukkan hampir setengah bilion ringgit, yakni RM471.6 juta bagi tujuan pembelian Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia kategori B40. Pengagihan bantuan PPC ini mengandungi pek pelitup muka guna semula, kit ujian kendiri COVID-19, satu pulse oximeter, satu termometer dan risalah panduan penggunaan dan info kesihatan. Usaha ini dilihat dapat meringankan beban kewangan lebih 3.6 juta keluarga B40. Saya amat percaya di atas pengalaman Yang Amat Berhormat Bera sewaktu menjadi Menteri Kanan Keselamatan khususnya menjaga COVID-19, ini adalah satu tindakan proaktif yang diambil oleh Yang Amat Berhormat Bera dalam memastikan Malaysia bersedia melangkah ke arah endemik COVID-19 secepat yang mungkin, insya- Allah. Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh rakyat Baling khususnya dan rakyat Malaysia amnya, ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan petugas barisan hadapan yang tidak pernah jemu menjalankan tugas dan amanah menjaga keselamatan, kesihatan dan keamanan buat negara yang kita sayangi. Pandemik COVID-19 ini kini dalam proses bertukar menjadi endemik telah menjejaskan norma kehidupan manusia seluruh dunia. Pelbagai kaedah dan solusi silih berganti dan diguna pakai baik daripada segi SOP, undang-undang dan kos perbelanjaan sudah ditambah baik. Perkembangan positif dapat terus dilihat sekiranya Malaysia mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi iaitu mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok berserta pengamalan SOP yang berterusan. Vaksin juga adalah antara usaha pencegahan daripada penyakit dan usaha mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit ini. Ia merupakan perkara kedua yang terpenting dalam maqasid syariah iaitu tanggungjawab menjaga nyawa. Tuan Yang di-Pertua, kewujudan anti vaksin dan diayah-diayah yang disebarkan nampaknya hampir-hampir berjaya mempengaruhi penerima vaksin di kalangan rakyat. Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, saya dimaklumkan bahawa negeri Kedah, Kelantan dan Sabah adalah di antara negeri yang paling rendah kadar vaksinasinya. Mereka yang menolak vaksin ini juga terdiri daripada pelbagai golongan tidak kira profesional ataupun tidak. Menjawab ulasan Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkenaan vaksin melebihi bilangan penerima di Baling ketika sidang media Kementerian Kesihatan semalam di Kedah, insya-Allah, untuk makluman Yang Berhormat Menteri, kami akan terus berusaha
untuk memastikan kadar vaksinasi di Baling, sebab Baling disebut dua kali semalam oleh Yang Berhormat Menteri, insya-Allah akan mencapai 80 peratus dalam masa yang terdekat ini. Saya juga sentiasa turun padang. Syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan, kepada DG Kesihatan yang turun padang. Saya melihat semalam Yang Berhormat Menteri pergi Kajang, Yang Berbahagia DG pergi ke Baling. Terima kasih kerana cakna dan keprihatinan untuk memastikan penerima vaksin mencapai imuniti berkelompok di Baling. Untuk makluman Yang Berhormat Menteri, rakyat Baling perlu divaksinkan seramai 108,000 orang kalau pengundinya 21 tahun ke atas. Akan tetapi, kalau seperti Yang Berhormat Muar hendak, insya-Allah menjadi kenyataan, 158,000 orang rakyat Baling harus divaksinkan. Setakat hari ini, 78 peratus telah menerima dos pertama, iaitu 82,680 orang. Dos kedua sebanyak 48 peratus iaitu seramai 50,880 orang. Terima kasih kepada KKM. Insya-Allah, esok anak-anak murid atau pelajar berumur 16 hingga 17 tahun akan diberikan vaksin. Insya-Allah, lebih 7,200 orang akan dapat divaksinkan. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, saya turun ke pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di daerah Parlimen Baling saya. Apabila saya turun, saya dengar macam- macam cerita. Macam-macam cerita saya mendengar rintihan-rintihan mereka. Dahulu, mula-mula mereka dapat Pfizer. Jadi, mereka sudah tertaksub dengan Pfizer. Tiba-tiba mereka datang, pagi dapat Pfizer, petang dapat AZ ataupun petang mereka akan dapat vaksin satu lagi yang jenama... [Disampuk] Sinovac. Jadi ini mereka sudah mula bercelaru. Mereka tidak faham sebab kalaulah orang kampung datang dapat milo dahulu tiba-tiba dapat kopi o sekarang, mereka pun sudah tidak faham. Jadi saya harap Kementerian Kesihatan memainkan peranan dalam hal ini untuk banyakkan berita ataupun banyakkan terjemahan kepada rakyat, kerana mereka mendengar macam- macam cerita. Antara cerita yang mereka dengar ialah komplikasi darah beku, keguguran dan sebagainya. Maklumat-maklumat seperti inilah kerajaan harus memainkan peranan. [Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat] Kerjasama kementerian-kementerian berkaitan iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan harus memainkan peranan mengambil langkah proaktif untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan vaksin dan langkah- langkah pencegahan COVID-19. Naikkan billboard lebih banyak, lebih besar, jika perlu, kerana rakyat perlu lebih peka dan cakna apakah tindakan yang perlu dilakukan sekiranya didapati positif COVID-19. Antara lain juga maklumat yang saya peroleh khususnya di kawasan saya, ada beberapa peratus penerima yang layak menerima vaksin, mereka ini telah bermastautin di kawasan Baling lebih 10 tahun, malah 20 tahun dan mempunyai anak yang ramai, tetapi mereka ini masih lagi ada masalah kad pengenalan. Rakyat Baling, Sik dan Pendang. Ini kerana kawasan kami ialah kawasan dekat dengan sempadan yang mana akan wujudnya isu rakyat Thailand berkahwin dengan rakyat Malaysia dan sebagainya. Jadi, mereka semua ini sudah jadi Keluarga Malaysia dan menyebabkan isu kad pengenalan tersebut terbengkalai. Oleh itu, apakah kaedah yang dapat kita lakukan untuk menyelesaikan isu ini? Sebab, mereka ini juga duduk dalam kelompok yang sama. Mereka ini sudah duduk sekian lama. Saya ingin mengesyorkan kepada kerajaan bagaimana caranya kalaulah penghulu-penghulu mukim boleh mengeluarkan surat-surat kesahihan bahawa mereka ini ialah penduduk di situ sekian lama. Saya percaya di Kelantan, di Sabah juga perkara yang sama sedang berlaku. Ambil vaksin atau tidak masih menjadi persoalan ramai. Oleh itu, kerajaan perlu lebih jelas daripada segi pelaksanaan undang-undang berkaitan pengambilan vaksin di
kalangan rakyat. Apakah implikasi dan kesan dari segi undang-undang untuk mereka yang sengaja menyebarkan diayah anti vaksin dan menolak pemberian vaksin ini? Tuan Yang di-Pertua, dua bantuan yang amat penting yang kita semua Ahli Parlimen dalam Dewan yang mulia ini wajar dan wajib menguar-uarkan kepada rakyat ialah berkenaan Bantuan Khas COVID-19 oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah Yang Berhormat Menteri dan Timbalan Menteri Tugas-tugas Khas, Jabatan Perdana Menteri. Bantuan ini yang disediakan ialah bantuan khas pengurusan kematian. Ini merupakan one-off sehingga kadar RM5,000 yang akan diberikan kepada waris si mati. Selain itu, Bantuan Khas COVID-19 sebanyak RM100 sepanjang tempoh dikenakan perintah pengawasan kuarantin dan pemerhatian bagi kontak COVID-19. Kedua-dua bantuan ini boleh dimohon melalui portal rasmi NADMA, www.nadma.gov.my. Ini saya sebut amat penting kerana di kawasan saya, Tuan Yang di-Pertua, kalau ada kematian, kalau kes COVID-19, mereka terpaksa membawa pesakit tersebut ke Hospital Kulim atau Hospital Alor Setar, apatah meninggal. Jenazah ini diuruskan oleh Hospital Alor Setar ataupun Kulim di mana waris tidak boleh pergi hendak kebumikan. Ini semua diproses, kena ada bayaran RM800, RM500, RM600 dan sebagainya. Jadi, saya harap rakyat perlu tahu. Saya di pejabat saya, saya adakan seorang pegawai khas untuk memastikan daftarkan mereka yang meninggal dunia dan mereka yang sedang kuarantin untuk kita berurusan bantu rakyat untuk mohon duit yang telah disediakan oleh pihak NADMA. Ini harus diuar-uarkan. Saya minta kementerian- kementerian yang berkaitan, kementerian-kementerian seperti multimedia, penerangan dan semua ini tolong bantu untuk uar-uarkan perkara tersebut. Tuan Yang di-Pertua, perkara satu lagi ialah berkaitan dengan penambahan bajet untuk Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menaik taraf hospital-hospital, menaik taraf wad-wad sedia ada, menambah baik kemudahan dan peralatan hospital termasuklah pelbagai untuk membawa pesakit ini. Dalam Bajet 2021, RM31.9 bilion diberikan kepada Kementerian Kesihatan.
Maka, kita cadangkan jumlah ini ditambah lagi kerana tanggungjawab pihak KKM amat besar pada waktu dan ketika ini. Dalam keadaan COVID-19 ini, saya mengharapkan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan mengeluarkan peruntukan yang lebih besar bagi kepentingan rakyat. Kurangkanlah birokrasi dalam keadaan begini seperti peruntukan logistik untuk menyelesaikan isu rakyat. Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik inisiatif Kementerian Kesihatan di bawah di bawah Yang Berhormat Menteri, dalam mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih komprehensif berkaitan dengan isu doktor kontrak. Kementerian Kesihatan dilihat perlu menyelesaikan isu berkaitan doktor kontrak ini yang menghadapi masalah status yang tidak tetap, penggajian yang rendah serta ketiadaan kemudahan untuk menyambung belajar. Saya juga difahamkan mereka tidak layak menikmati sistem pencen, flight warrant serta pinjaman perumahan kerajaan dan medical benefits. Oleh yang demikian, saya mencadangkan kepada Menteri, carilah titik pertemuan. Bagilah dulu macam pinjaman perumahan, untuk mereka pergi belajar, untuk mereka yang ada sakit, dapatkan mereka bantuan. Berilah peruntukan-peruntukan tersebut. Kalaulah tidak boleh lagi kita memberikan mereka sebagai seorang doktor yang tetap, kontrak, kita berilah. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya sendiri banyak mendengar keluhan-keluhan daripada doktor-doktor. Ini untuk rakyat Baling, Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhomat, masa sudah habis. Minta rumuskan.
Ya, saya ingin menyentuh berkaitan dengan kemudahan rangkaian jalur lebar di kawasan luar bandar. Saya dimaklumkan bahawa sebanyak 2,300 buah menara komunikasi yang telah disiapkan. Walau bagaimanapun, di Baling masih lagi kita memerlukan paling tidak 19 lagi unit dalam masa yang terdekat ini untuk memastikan pelajar-pelajar, anak-anak kami di
Baling dapat teruskan belajar secara online. Saya harap kementerian ini tolong datanglah ke Baling untuk melihat. Memandangkan masa saya pun sudah tidak boleh nak panjang lagi, saya ada satu sahaja lagi. Penting, saya gulung. Minta izin, Tuan Yang di-Pertua.
Sila.
Bila Menteri buat penggulungan, saya akan sampaikan lagi maklumat tambahan.
Baik, terima kasih.
Ini penting, cadangan saya bagi membantu peniaga-peniaga kecil yang terkesan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang COVID-19. Saya mencadangkan kerajaan memperkasakan Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK) dengan bajet sekurang-kurangnya RM300,000 ke setiap Parlimen. Ada 220 buah kawasan Parlimen. Majlis ini sepatutnya berfungsi bagi merancang, menyelaras dan memantau program keusahawanan di setiap Parlimen. Setiap Ahli Parlimen yang ada di dalam Dewan ini akan mengenal pasti rakyat di kawasan masing-masing yang layak menerima bantuan geran di antara RM2,000 hingga RM5,000. Ia akan menyasarkan program pembangunan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti perniagaan- perniagaan bengkel kereta, motosikal, basikal; perusahaan makanan seperti kerepek, kuih baulu, dodol, makanan frozen; tukang jahit dan sebagainya, termasuk peniaga- peniaga pasar malam. Jadi, kita bantulah juga peniaga-peniaga online yang memerlukan modal perniagaan. Start-up business, dengan izin. Bukan sahaja memberi bantuan kewangan tetapi mereka– latihan dari segi produk, strategi pemasaran, khidmat nasihat kewangan, kerana pandemik COVID-19 ini. Kita gunakan platform ini iaitu Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp Malaysia) untuk menyelaraskan pelaksanaan program merentasi kesemua kementerian dan agensi berkaitan. Gunakan SME Corp sebagai pusat rujukan bagi penyelidikan dan penyebaran data berkaitan dengan PKS di seluruh negara. Saya mencadangkan untuk Human Resource Development Fund (HRDF) untuk bekerjasama dengan SME Corp untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana. Inilah masa untuk wang yang terkumpul ratusan juta dalam HRDF untuk diguna pakai sebaik mungkin dan dimanfaatkan dengan mengadakan kursus-kursus kepada semua peniaga online dan bukan online. Peniaga online ini sangat berpotensi. Malahan di Baling sendiri, ramai anak muda yang berkecimpung dalam perniagaan online dan mereka memerlukan pengetahuan dan sokongan untuk pergi lebih jauh dan bertahan dalam perniagaan sewaktu COVID-19.
Okey Yang Berhormat.
Jadi, mudah- mudahan melalui cara ini rakyat dapat dielakkan dengan segala red tape dan sebagainya. Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kerana beri laluan kepada saya. Baling mohon menyokong, agar ucapan saya ini dapatlah balasan jawapan daripada Menteri- menteri. Saya ada lagi tiga perkara...
Okey tidak apa. Tidak payah cakap.
...saya akan masuk bila Menteri buat perbahasan gulung nanti. Terima kasih, Baling mohon menyokong. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.
Waalaikumussalam, terima kasih Yang Berhormat Baling. Sekarang, saya jemput Yang Berhormat Puchong, kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Sik. Kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Pokok Sena. Kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Tebrau. Sila, Yang Berhormat Puchong. Masa 12 minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana membenarkan saya juga mengambil bahagian dalam perbahasan pada hari ini. Tuan Yang di-Pertua, pada bulan Mac 2021, bekas Ketua Polis Negara telah pun membuat satu kenyataan secara terbuka berkenaan dengan wujudnya salah laku-salah laku pada peringkat atasan dalam PDRM yang mana diketahui oleh anggota-anggota PDRM yang berpangkat tinggi tetapi tindakan tidak diambil. Kita masih ingat lagi Ketua Polis Negara menyatakan bahawa wujudnya kartel dan kartel ini terdiri daripada pegawai-pegawai yang mempunyai niat untuk mereka ini pastikan bahawa mereka boleh naik, dapat pangkat tinggi dalam PDRM. Apa yang mereka lakukan, Tuan Yang di-Pertua? Hal ini dicakapkan oleh– diberitahu oleh Ketua Polis Negara. Mereka bersekongkol dengan tauke-tauke judi, mereka yang terlibat dalam pengagihan dadah dan sebagainya. Apa yang berlaku di situ adalah ada kartel yang memastikan bahawa dana dan sebagainya disalurkan kepada peringkat-peringkat tertentu dalam PDRM. Apabila pembongkaran ini dibuat Tuan Yang di-Pertua, kita lihat bahawa Ketua Polis Negara menyatakan dengan tegas masa itu, perlu ambil tindakan. Tindakan ini juga termasuk tindakan dari sudut rasuah. Tuan Yang di-Pertua, kita tahu di dalam negara ini isu berkaitan dengan rasuah itu di dalam bidang kuasa SPRM. Walaupun ada aduan yang dibuat, bukan sahaja daripada mana-mana anggota yang biasa tetapi pegawai yang paling tinggi dalam PDRM, kita lihat ketua SPRM masa itu Datuk Seri Azam Baki mengeluarkan kenyataan bahawa perkara ini akan dirunding ataupun diselesaikan melalui proses dalaman. Proses dalaman. Tuan Yang di-Pertua, saya nak tanya di sini, adakah kesalahan-kesalahan rasuah dan kesalahan seperti mana didedahkan oleh Ketua Polis Negara itu boleh diselesaikan secara dalaman? Apakah yang membawa beza kepada pegawai-pegawai polis apabila berlakunya suatu jenayah? Kenapakah mereka ini diambil tindakan secara dalaman? Kenapa masa itu, walaupun aduan dibawa oleh Ketua Polis Negara. Kalau Ketua Polis Negara bawa aduan ini dan tidak ada tindakan, bagaimana kita ada keyakinan di dalam kerajaan? Ini apa yang berlaku. Kemudian, dinyatakan bahawa satu siasatan dalaman akan diadakan. Sehingga sekarang, tidak ada sebarang kenyataan berkenaan apa berlaku kepada tindakan ataupun siasatan dalaman itu. Ini menunjukkan kelemahan pada pihak Perdana Menteri dan kerajaan yang lalu. Kerajaan Perikatan Nasional. Seorang Perdana Menteri yang lemah dan tidak ada hala tuju untuk membersihkan negara ini daripada aduan rasuah. The police IGP membuat kenyataan, tindakan tidak diambil. Sekarang Tuan Yang di-Pertua, kita lihat ada kenyataan yang dibawa hari ini. Kenyataan dikeluarkan oleh pihak PDRM dan MACC hari ini. Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 2018 ada satu kes. Kes yang melibatkan ketua– dan saya baca. Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, beliau dituduh dalam tahun 2018. Dalam kes itu, dinyatakan bahawa melibatkan wang tunai berjumlah USD6 juta. Dalam bulan April 2021, pertuduhan-pertuduhan terhadap beliau digugurkan. Peguam Negara membuat keputusan supaya tidak teruskan dengan kes itu. Kes itu dibawa oleh SPRM. Soalnya, apa yang berlaku kepada wang itu?
Semalam ada tohmahan yang dibawa oleh pihak tertentu bahawa wang itu telah pun dilesapkan. Wang ini yang merupakan barang kes di mahkamah melibatkan seorang yang berprofil tinggi dikendalikan oleh SPRM. Wang itu boleh hilang, RM6 juta. Apabila dibawa tohmahan ini, dikatakan bahawa wang itu telah pun dicuri. Tuan Yang di-Pertua, semalam ada kenyataan daripada pihak polis. Pihak polis menyatakan – saya baca laporan hari ini, Free Malaysia Today, FMT “Tiada Laporan Pegawai SPRM Curi Barang Kes USD 6 juta, Kata Polis”. Pihak polis menyatakan dalam keterangan mereka dengan cukup jelas bahawa ini merupakan satu perkara yang melibatkan kes tersebut yang saya nyatakan tadi. Jadi, tidak ada masalah untuk kita ini mengaitkan kedua-duanya. That is the case.
Dalam perkara ini saya hendak tanya Tuan Yang di-Pertua, apakah yang berlaku kepada wang itu? Kita lihat kemudian SPRM keluarkan satu kenyataan. SPRM dalam kenyataan menyatakan hari ini, “SPRM Sahkan Penahanan Tiga Pegawai Berhubung Dakwaan Salah Guna Kuasa”. Ini adalah kenyataan dikeluarkan oleh SPRM. “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ...”, Tuan Yang di-Pertua, “... mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.” Menurut kenyataan pada hari Isnin, Tuan Yang di-Pertua, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan di hadapan Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama enam hari iaitu bermula 14 hingga 19 September 2021. Kemudian, dinyatakan SPRM sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini. SPRM dalam masa itu menegaskan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan ambil tindakan sewajarnya sekiranya tindakan itu benar-benar berlaku. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin tanya beberapa soalan. Pertamanya, Tuan Yang di-Pertua, ini kes curi. Curi barang kes. Kes curi itu di bawah bidang kuasa polis bukan SPRM. Jadi, kenapakah pihak SPRM yang membuat tangkapan dan tahanan? Ini adalah perkara yang melibatkan Pegawai SPRM, tidak akan kita ada keadaan di mana SPRM menyiasat SPRM sendiri? [Tepuk] Kenapakah ia berlaku? [Tepuk] Baru berlaku dalam permulaan tahun ini, berlaku sekali lagi? Saya juga hendak tanya adakah benar bahawa wang ini dan tangkapan- tangkapan ini ada hubungan dengan Pegawai Kanan SPRM? Bagaimanakah ia boleh disiasat oleh SPRM?
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Tangan kiri siasat tangan kanan.
Ini menjadi satu perkara yang kita lihat. Adakah ini juga akan menjadi satu kes di mana nasihat diberikan supaya ada siasat dalaman.
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Tidak boleh.
Tuan Yang di-Pertua, ini kes yang dihadapkan di mahkamah. Barang kes yang telah pun melalui proses mahkamah boleh lesap dan SPRM keluarkan kenyataan “Jangan buat spekulasi”. Kalau ada kenyataan, tidak ada butir-butir, rakyat akan membuat spekulasi kerana SPRM yang gagal memberikan butir-butir. [Tepuk] . Apa berlaku kepada kerajaan kita? Kenapa kerajaan kita di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Bera, menunjukkan bahawa beliau pun lemah, tidak kekuatan iltizam untuk kita tukar. Sebut, cakap mengenai reformasi tetapi mana? Kita mahu lihat perbezaan. Tidak boleh ada satu keadaan di mana pegawai-pegawai yang dikatakan ada kaitan dengan pegawai kanan satu jabatan, siasat sendiri. This is not a joke. Ini perkara yang sangat serius dan saya rasa kita perlu menunjukkan... [Disampuk]
Yang Berhormat Puchong, minta penjelasan.
...Kepada rakyat bahawa ada ketulusan pada pihak kita. Kalau kerajaan betul-betul hendak tunjukkan kerajaan reformis, maka saya minta supaya jawapan diberikan... [Disampuk]
Yang Berhormat Puchong, minta laluan.
Juga keputusan dibuat esok supaya kes ini disiasat oleh badan yang bebas yang boleh menunjukkan bahawa siasatan itu adalah siasatan yang tepat dan juga siasatan yang transparent dalam menyelesaikan masalah ini.
Yang Berhormat Puchong, minta jalan. Yang Berhormat Punchong.
Sila Yang Berhormat Teluk Intan.
Terima kasih Yang Berhormat Puchong, saya ikuti perbahasan Yang Berhormat Puchong dengan cukup teliti sekali. SPRM merupakan Badan Pencegah Rasuah. Apa kata jika SPRM sendiri rasuah? Maka, saya ingin bertanya kepada kerajaan apakan mekanisme semak dan imbang ke atas SPRM sendiri? Ini supaya pastikan Badan Pencegahan Rasuah ini betul-betul mencegah rasuah. Apakah pandangan Yang Berhormat Puchong?
Terima kasih Yang Berhormat Teluk Intan. Di situlah tempat yang saya rasa kita ada keraguan. Buat apa kita ada keadaan di mana kita menyatakan kepada rakyat di luar sana kita hendak perang rasuah dan jenayah tetapi bila kita lihat mereka yang seharusnya melawan rasuah dan jenayah ini terlibat dalam perkara-perkara itu sendiri. Kemudian, kita lihat ada keadaan di mana tangkapan dibuat oleh jabatan sendiri. Siasatan dibuat siasatan dalaman. Kemudian, kalau ada SPRM dalam kes polis dulu ada unsur-unsur rasuah. Ketua SPRM mengatakan “Tidak apa”. Ini masalah dalaman. Sekarang kita lihat ada siasatan dalam SPRM. Tidak akan polis pun hendak kata “Tidak apa, ini masalah dalaman SPRM”. Tidak boleh macam ini. Adakah ini satu keadaan di mana SPRM tidak mahu siasat polis, polis tidak mahu siasat SPRM? Dalam keadaan itu, apakah seharusnya kita laksanakan sebagai wakil- wakil rakyat dan Ahli-ahli Parlimen? Sila Yang Berhormat Lembah Pantai.
Terima kasih Yang Berhormat Puchong dan Tuan Yang di-Pertua. Saya dalam ucapan saya tadi ada menyentuh perkara yang sama. Bila Yang Berhormat Puchong membangkitkan beberapa perincian dalam isu ini adakah Yang Berhormat Puchong bersetuju bahawa dalam keadaan ini, bukan sahaja SPRM tidak boleh menyiasat diri sendiri kerana yang berlaku, tuduhannya ialah bukti kes yang telah diselewengkan, telah hilang. Maka, selain daripada itu selain SPRM tidak boleh menyiasat disebabkan kata orang putih ialah who watches the watchmen? Akan tetapi, dalam kes ini adakah Yang Berhormat Puchong setuju bahawa the head of SPRM pada waktu ini perlu direhatkan sehingga isu ini dapat diselesaikan? Apa pandangan Yang Berhormat Puchong.
Terima kasih Yang Berhormat Lembah Pantai. Sila, Yang Berhormat Puchong.
Terima kasih Yang Berhormat Lembah Pantai. Saya rasa apa yang disebut oleh Yang Berhormat Lembah Pantai itu boleh dimasukkan dalam ucapan saya. Tuan Yang di-Pertua, bukan sahaja satu keadaan di mana ada aduan yang mengaitkan Pegawai SPRM, ada juga kemungkinan aduan di mana dikatakan bahawa ada kaitan kepada pegawai kanan dalam SPRM. Kalau sebenarnya ada kaitan itu, bagaimanakah kita boleh harapkan Pegawai-pegawai SPRM untuk menyiasat pegawai kanan mereka? Ini perkara yang cukup simple untuk kita faham. Jadi, di situ saya mengulangi sekarang. Kita hendak lihat kerajaan yang baharu ini menyatakan bahawa mereka reformis. Saya hendak minta tunjukkan sikap reformis ini sekarang. [Tepuk] Kalau betul-betul reformis, buat sesuatu untuk selesaikan ataupun mengatasi masalah ini dalam masa yang terdekat. Kalau tidak, you are just the same. You are no different. Ini adalah apa yang kita kena lihat menjadi kerajaan gagal sekali lagi. Tuan Yang di-Pertua, saya berbalik kepada apa yang disebut oleh Yang Berhormat Pengerang dalam ucapan beliau. Yang Berhormat Pengerang telah pun menyentuh satu perkara yang cukup baik berkenaan dengan kuasa Peguam Negara.
Peguam Negara itu menurut Yang Berhormat Pengerang harus dipisahkan kuasanya. Kuasa sebagai Peguam Negara dan kuasa sebagai Pendakwa Raya. Kenapakah? Mungkin disebut di situ mungkin ada konflik, tidak mahu kelihatan seolah- olah Peguam Negara yang membawa pendakwaan kalau mereka itu adalah orang yang sama. Saya rasa kita juga perlu lihat kepada Ketua Polis Negara. Kita juga perlu lihat kepada Ketua SPRM. Ini kerana kalau kita ada keadaan di mana mereka ini di bawah jagaan kementerian-kementerian tertentu, maka ada soal yang berbangkit. Adakah kita ini boleh yakin bahawa apa yang berlaku di dalam PDRM dan juga SPRM ini adalah tindakan- tindakan yang telus yang mana kita dapat lihat hasil daripada siasatan-siasatan yang berlaku? Ataupun adakah apa yang berlaku di dalam PDRM dan SPRM ini adalah perkara-perkara di mana kalau pun ada tindakan tetapi langsung tidak kita lihat sebarang tindakan jenayah dibawa terhadap mereka sebegini. Jadi, saya minta penjelasan daripada kerajaan dan saya harap sebelum penjelasan itu diberikan dalam Dewan ini, kita lihat satu keputusan dibuat dan dilaksanakan dengan serta-merta. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Puchong. Saya jemput Yang Berhormat Sik.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahi Rahmanir Rahim. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan untuk saya juga berbahas usul menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari ini. Menjala ikan di Kuala Muda, Ikan di niaga di pasar petang, Pesanan Tuanku Duli Yang Mulia, Untuk negara tercinta kita tumpahkan.
Tuan Yang di-Pertua, mukadimah saya, saya tertarik untuk menyentuh mengenai Hari Malaysia yang disambut saban tahun setiap 16 September. Demi mengingati hari di mana terbentuknya Persekutuan Malaysia di mana hari penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dilatari dengan sejarah yang tersendiri sehingga akhirnya membentuk sebuah negara yang kita namakan dengan Malaysia seperti yang terjulang hari ini. Justeru, niat keamanan dan keharmonian yang berjaya kita kecapi bersama hari ini perlulah dikekalkan sementara bibit-bibit perpecahan perlulah kita elakkan. Jika pemimpin terdahulu bersusah payah menyatukan negara, hari ini kita melihat ada segelintir pemimpin yang lebih mementingkan kelompok kecil dari kelompok besar rakyat serta mempunyai agenda tersendiri sehingga mengesampingkan agenda bangsa dan negara. Saya menasihati diri saya dan juga seluruh Ahli-ahli Parlimen dalam Dewan yang mulia ini agar kita tidak menggadai masa depan rakyat untuk mencapai kepentingan-kepentingan tertentu. Tuan Yang di-Pertua, konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan sulung beliau selepas dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri Kesembilan wajar dihayati bersama. Nilai murni dalam sesebuah institusi kekeluargaan kira-kiranya tidak lengkap tanpa wujud nilai-nilai seperti kasih sayang, toleransi, empati dan pengorbanan antara satu sama lain. Inilah yang sangat diperlukan baik oleh rakyat mahupun pemimpin yang berbeza warna politik. Saya memuji langkah yang diambil oleh kerajaan hari ini dalam mengharungi cabaran-cabaran semasa termasuklah peralihan baru dari fasa pandemik ke fasa endemik COVID-19, pemulihan ekonomi serta kestabilan politik.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin membangkitkan berkaitan dengan hal pertanian ataupun sekuriti makanan yang sangat penting untuk kita fahami bersama. Keselamatan makanan merupakan bidang yang penting dalam sekuriti makanan apabila keselamatan makanan dipertingkatkan maka produktiviti, ekonomi dan perdagangan makanan negara di peringkat serantau dan global juga akan meningkat. Seperti yang disebut, tiada sekuriti makanan jika tiada makanan yang selamat. Sekuriti makanan dan keselamatan makanan saling berkait antara satu sama lain kerana memberi impak yang besar kepada tahap kesihatan dan kehidupan rakyat sesebuah negara. Pada Jun lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menyatakan seramai 41 juta orang daripada 43 negara kini diancam risiko kebuluran. Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dengan memastikan sektor pertanian, ternakan dan perikanan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa secara lebih proaktif. Saya ingin penjelasan sejauh mana strategi yang dilaksanakan oleh pihak kementerian dan agensi yang terlibat dalam mengatasi isu krisis sekuriti makanan dan keselamatan makanan negara pada masa akan datang. Dalam webinar Forum Ekonomi Islam Dunia baru-baru ini ada menyebut bahawa Malaysia berada pada sasaran untuk memperoleh sifar lapar serta meningkatkan pendapatan rakyatnya menjelang 2030. Oleh itu, saya ingin mengetahui langkah-langkah yang dipergiatkan oleh kementerian dalam memastikan sasaran sifar lapar tersebut dapat dicapai. Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menyasarkan untuk meratifikasi perjanjian CPTPP ataupun dengan izin, Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership. Kesan CPTPP kepada pertanian adalah besar, antaranya produk pertanian murah daripada Vietnam, Australia, Jepun dan sepuluh negara lain boleh masuk ke negara kita dengan bebas tanpa kawalan tarif dan permit import. Selain itu, kita juga diwajibkan menyertai Konvensyen UPOV 1991 yang akan mengiktiraf monopoli pasaran benih oleh syarikat pengeluar dan melarang petani memproses dan menyimpan benih sendiri. Soalan saya, apakah kerajaan menyedari akan risiko ini dan sudah kah diadakan kajian khas berkenaan impak CPTPP ini kepada petani, penternak dan nelayan tempatan? Tuan Yang di-Pertua, saya beralih kepada isu pencemaran air dan sungai yang kerap berlaku sehingga menjejaskan kesihatan dan aktiviti seharian masyarakat setempat. Selain itu, kerajaan juga terpaksa menanggung kos yang tinggi dalam pembersihan semula sungai yang tercemar. Antara kes pencemaran sungai yang masih dalam ingatan rakyat iaitu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor sehingga menjejaskan ribuan penduduk. Selain itu, kes pencemaran sungai di Sungai Klang pada tahun 2020 telah menjejaskan lebih sejuta penduduk untuk mendapat bekalan air bersih ekoran pembuangan sisa haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Begitu juga yang berlaku di Sungai Semenyih, Selangor sehingga mengganggu lebih 463 kawasan. Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air yang begitu pantas dan proaktif bertindak terhadap isu-isu yang melibatkan alam sekitar dan pencemaran sumber air di negara ini. Namun begitu, saya mempunyai beberapa saranan yang perlu diberi perhatian oleh pihak kementerian seperti mana yang telah dicadangkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang pada minggu yang lalu di antaranya supaya kerajaan melihat untuk membuat pindaan undang-undang Persekutuan untuk pemulihan, perlindungan dan pemuliharaan sumber air negara ini daripada terus tercemar perlu dinilai dan dikaji. Kedua, kapasiti penguatkuasaan undang-undang yang bertanggungjawab dalam perlindungan dan pengurusan sumber air juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa memandangkan isu pencemaran sumber air masih tidak berkesudahan. Ketiga, siasatan dalam kes pembuangan sisa berbahaya ke dalam sungai memerlukan campur tangan SPRM dan perlu mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dan amalan rasuah. Saya juga ingin bertanya kepada
pihak kementerian, sejauh mana perancangan strategik dalam masa 10 hingga 20 tahun yang akan datang dalam memulihkan semula sungai negara kita yang semakin kritikal dan merosot ekoran aktiviti manusia yang tidak terkawal? Tuan Yang di-Pertua, saya juga membangkitkan persoalan isu pembangunan luar bandar termasuk pembangunan di daerah ataupun di Parlimen Sik. Izinkan saya menyentuh sedikit berkaitan dengan isu capaian internet yang sangat lemah seperti mana yang telah diulang, disebut oleh Ahli-ahli Parlimen yang lain khususnya jaringan Internet yang telah mengganggu proses PdPR murid-murid atau pun mahasiswa. Ia juga memberikan kesukaran kepada guru-guru dalam melaksanakan PdPR di rumah. Ini lah realiti sebenar yang sering diluahkan oleh guru-guru mahupun murid-murid atau pelajar yang masih lagi dalam dilema dengan isu capaian Internet yang lemah dan bermasalah sedangkan PdPR dalam institusi pendidikan telah setahun menjadi norma baharu dalam kalangan warga pendidik dan murid-murid. Saya difahamkan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mewujudkan satu jawatankuasa khas pada Jun lalu dalam menyelesaikan kawasan yang tiada liputan Internet mahupun capaian lemah. Sehubungan itu, saya ingin mengetahui perkembangan terkini jawatankuasa tersebut dalam menyelesaikan isu ini bagi memastikan para pelajar dan mahasiswa mahupun warga pendidik dapat melaksanakan PdPR dengan baik. Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan berkaitan dengan masalah bekalan air terawat khususnya di Parlimen saya. Terdapat banyak lagi kawasan kampung di kawasan Parlimen Sik yang masih tiada bekalan air yang terawat, permasalahan ini disebabkan tekanan air yang rendah yang dibekalkan oleh pihak operator bekalan air dan kalau saya sebutkan begitu banyak kampung-kampung yang terjejas. Jadi, saya mencadangkan agar langkah lebih proaktif perlu dilaksanakan bagi memperluaskan sumber bekalan air terawat dalam menyediakan infrastruktur sumber air alternatif seperti air bukit untuk disalurkan kepada penduduk. Perkara ini tidak dilihat penduduk hanya bergantung pada satu sumber sahaja sama ada daripada operator pembekalan air mahupun daripada kerajaan negeri. Sumber air alternatif ini juga amat berguna kepada penduduk sekiranya berlaku pencemaran sungai, mereka tidak hanya bergantung pada satu sumber sahaja. Saya juga mengharapkan pihak kementerian memberi perhatian khusus kepada kesan langsung kesan ekonomi kepada peniaga kecil, pasar malam, pekan sehari yang terjejas teruk akibat PKP dan pandemik COVID-19. Bantuan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga peralatan dan sebagainya perlu disalurkan kepada peniaga-peniaga yang terjejas. Platform e-dagang iaitu atas talian kepada peniaga perlu ditekankan secara aktif agar mereka dapat melaksanakan peralihan perniagaan tersebut secara lebih meluas dan cekap. Saya juga ingin mencadangkan kepada agensi-agensi yang menguruskan berkaitan dengan pekebun-pekebun kecil sama ada RISDA ataupun Lembaga Getah Malaysia bagi meningkatkan penghasilan getah tempatan dan industri hiliran selain semak dan imbang harga getah asli dapat juga dilakukan secara holistik bagi memastikan para penoreh-penoreh di kawasan luar bandar dapat memperoleh hasil pendapatan yang lebih baik.
Saya juga ingin bangkitkan berkaitan dengan isu SOP pelaksanaan solat di masjid-masjid di seluruh Malaysia. Saya mencadangkan untuk penyelarasan bersama yang lebih jitu bersama dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri untuk memastikan bahawa SOP pelaksanaan di masjid ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia adalah platform terbaik dalam persetujuan penyelarasan SOP bagi memastikan masjid-masjid ini dapat dikunjungi dan dalam masa yang sama, kita menjaga untuk mengelakkan pandemik COVID-19 ini tersebar di masjid ataupun di surau. Tuan Yang di-Pertua, saya menyentuh juga dalam Pelan Pemulihan Negara bagi menghadapi jumlah kematian COVID-19 yang tinggi. Antara kesan besar yang dihadapi
pasca COVID-19 adalah jumlah kematian akibat daripada COVID-19 yang terus meningkat. Menurut kepada data yang dipaparkan di laman COVIDNOW, setakat 18 September 2021 angka kematian bagi setiap 10,000 orang di Malaysia adalah sebanyak 6.6 dan Pulau Pinang merekodkan angka kematian yang tertinggi iaitu 18.0 kematian nisbah 100,000 penduduk. Sekali gus, menunjukkan ramai rakyat di sana yang telah meninggal akibat COVID-19. Tuan Yang di-Pertua, di sini saya lihat kepentingan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk mengkaji kesan daripada angka kematian yang begitu tinggi yang mana telah mencatatkan kematian seramai lebih 23,067 orang secara keseluruhan setakat 18 September. Kajian ini...
Masa sudah habis. Rumuskan, Yang Berhormat Sik.
Ya. Kajian ini perlu disusuli dengan pelan tindakan wajar bagi mengurangkan kesan-kesan buruk libatkan aspek sosial, ekonomi dan sebagainya. Tuan Yang di-Pertua, akhirnya saya mengucapkan penghargaan setingginya kepada seluruh barisan hadapan yang telah berjuang dengan begitu gigih. Ada di antara mereka yang terkorban, ada di antara mereka yang mengalami kesulitan kehidupan akibat pandemik ini. Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, terima kasih kepada KKM kepada mereka yang senantiasa 24 jam sedang membantu rakyat di bawah sana, sama ada di hospital-hospital ataupun di pusat-pusat pemberian bantuan bakul-bakul makanan dan sebagainya. Inilah yang disebut sebagai suatu usaha As-Salamah iaitu memastikan keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat. Tuan Yang dipertua, saya akhiri dengan dua rangkap pantun, Ke Daerah Sik menjenguk kawasan, Luar bandar damba perhatian, Membangun ekonomi perlukan bantuan, Tangan dihulur rakyat membangun aman. Terima kasih Seri Paduka, Pantun bijaksana setia maksudnya, Bila Yang Berhormat ikhlas bekerja, Insya-Allah rakyat Malaysia pasti sentosa. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Sik. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Pokok Sena, kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Tebrau, diikuti oleh Yang Berhormat Kota Belud, kemudian Yang Berhormat Machang, kemudian Yang Berhormat Padang Serai. Sila Yang Berhormat Pokok Sena. Lima belas minit.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang di-Pertua untuk memberikan ruang kepada saya untuk turut terlibat dalam perbahasan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Saya melihat bahawa Titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dari sudut roh semangatnya ialah ke arah untuk seruan kepada mewujudkan kestabilan politik dalam negara kita agar kita sama-sama boleh menumpukan kepada penyelesaian masalah COVID-19 dan juga pemulihan ekonomi di dalam negara kita. Sudah tentu kita menyambut baik seruan dan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di- Pertuan Agong ini. Namun, kita harus akui dan Dewan ini harus merakamkan bahawa kestabilan politik negara kita ini adalah berpunca daripada rampasan mandat rakyat sejak
daripada tahun 2020 yang lalu. Sejak daripada Februari ataupun Mac pada tahun 2020 yang lalu. Ini kita kena akui bahawa punca kepada kestabilan politik harus memberikan kesedaran kepada semua di kalangan kita Ahli-ahli Parlimen yang berada di Dewan yang mulia ini, mengakui bahawa inilah titik tolak kepada politik negara yang tidak stabil sehingga membawa kepada Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di- Pertuan Agong yang berkali-kali menekankan bahawa keperluan kepada memastikan kestabilan politik dalam negara kita. Jadi sebab itu bagi saya bahawa ini merupakan sesuatu yang harus diinsafi oleh kita semua. Saya juga ingin menekankan bahawa apa yang telah pun berlaku dalam negara kita ini membawa sampai kepada peringkat berlaku perubahan dan pertukaran Perdana Menteri dan akhirnya kita lihat bahawa politik khianat-mengkhianati ini seperti seolah- olahnya menjadi satu amalan sehinggalah apabila kita gagal untuk meneruskan agenda yang telah pun tertera di dalam kertas Aturan Mesyuarat iaitu isu pelantikan Timbalan Yang di-Pertua. Hanya semata-mata – walaupun diberikan alasan, bagi saya bahawa diberikan alasan untuk dipinda Perlembagaan bagi mewujudkan dua jawatan ataupun satu jawatan tambahan lagi bagi Timbalan Yang di-Pertua untuk membolehkan dan memposisikan kedudukan pembangkang – wakil daripada pembangkang berada di tempat kerusi Timbalan Yang di-Pertua. Saya bersetuju tidak ada masalah kepada saya. Akan tetapi, apa yang berlaku ia adalah ekoran daripada krisis proses pemilihan Timbalan Yang di-Pertua, calon Timbalan Yang di-Pertua daripada sebelah pihak kerajaan yang tidak dapat hendak diselesaikan. Ada unsur-unsur untuk kalau berlaku calon yang sedemikian yang telah pun dihantar kepada Dewan, maka calon itu akan tidak diundi oleh pihak daripada sebelah sana. Jadi, bagi saya bahawa politik khianat-mengkhianati ini akan terus menghantui ‘Kerajaan 114’ ini dan sebab itu bagi saya bahawa saya tidak nampak di manakah kemampuan kerajaan yang ada pada hari ini untuk mengimplementasikan apa yang dihasratkan oleh Ahli-ahli Parlimen yang ada dalam Dewan ini. Tadi apa yang disebut oleh Yang Berhormat Puchong. Saya agak terkejut apa yang disebut oleh Yang Berhormat Puchong bahawa pendedahan bagaimana berlakunya kes pencurian ke atas barang kes. Seruan yang dibuat oleh Yang Berhormat Puchong itu, saya sangat bersetuju bahawa kerajaan harus menunjukkan iltizam dia untuk memerangi rasuah. Akan tetapi, satu benda yang agak sukar bila kita hendak mengharap kepada musang dan jebon untuk menjaga reban ayam. Ini kerana, sudah tentulah bahawa satu reban akan kehilangan ayam tersebut kerana kerajaan ini sendiri pun berasaskan kepada permulaan atas pengkhianatan dan bermula sampai kepada peringkat scheme of things dan akhirnya inilah yang berlaku dalam negara kita ini. Jadi sebab itu bagi saya bahawa apa yang berlaku – Kewujudan MoU, persefahaman antara pihak Pakatan Harapan khususnya dengan kerajaan ini ada semata-mata untuk mewujudkan kestabilan politik. Namun, saya mengharapkan bahawa kerajaan harus jujur dan ikhlas untuk memastikan supaya proses apa yang telah pun dimeterai di dalam perjanjian tersebut, persefahaman tersebut perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan bahawa rakyat mempunyai keyakinan bahawa kita benarnya bersungguh-sungguh untuk memastikan proses, apa nama, kestabilan politik dalam negara kita ini. Oleh sebab itu, saya nak balik kepada soal jawatan Timbalan Yang di-Pertua tadi. Saya tidak bersetuju untuk tambahan kepada satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua tetapi saya bersetuju bahawa kalau kerajaan niat murni untuk memposisikan wakil pembangkang berada di satu post. Timbalan Yang di-Pertua, ya, saya bersetuju. Akan tetapi, untuk menambah seorang lagi, saya tidak fikir bahawa selepas kita telah melambakkan 70 orang Jemaah Menteri yang 80 peratusnya adalah daripada Jemaah Menteri kerajaan yang gagal yang sebelum ini yang telah pun disebut oleh Yang Berhormat Bagan Datuk dengan tujuh kegagalan kerajaan yang terdahulu. Jadi, kita hendak menambahkan lagi beban rakyat hanya semata-mata kerana krisis politik yang tidak dapat diselesaikan oleh Barisan Nasional dengan Perikatan Nasional, lalu kita hendak membebankan lagi. Walaupun hanya dengan satu jawatan
Timbalan Yang di-Pertua, saya fikir bahawa dia membabitkan wang, wang negara dan wang rakyat. Jadi, sebab itu bagi saya bahawa adalah tidak wajar. Kalau kerajaan jujur, ayuh. Berikan ruang kepada pembangkang untuk diposisikan di atas kerusi Timbalan Yang di-Pertua. Itu sepatutnya dan sewajarnya ataupun bukalah ruang kepada pertandingan kerana kedua-dua nama daripada pembangkang dan juga pihak kerajaan telah pun sedia dihantar kepada Dewan.
Jadi itu yang saya mohon supaya kerajaan harus memberikan ruang untuk memastikan supaya kita tidak membebankan kehidupan masyarakat dan rakyat. Oleh sebab itu, saya nak tanya kepada Yang Berhormat Perdana Menteri, apa rasionalnya seramai 70 orang Menteri ini, termasuklah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Apa rasional dia? Sedangkan kita telah pun digambarkan dengan kenyataan oleh Yang Berhormat Bagan Datuk bahawa tujuh kegagalan telah digariskan. Apa rasional untuk kita meletakkan seramai 70 orang anggota Kabinet? Sepatutnya bagi saya inilah masa yang terbaik bagi kerajaan memperlihatkan kejujuran mereka untuk tidak membebankan negara dan rakyat dengan kos kewangan yang tinggi. Sepatutnya kos kewangan untuk 70 orang Menteri ini boleh digunakan untuk membantu kehidupan masyarakat dan rakyat dalam negara kita ini. Jadi, ini yang saya mohon penjelasan daripada pihak kerajaan. Kemudian, isu yang berkaitan dengan soal MoU yang telah pun dibuat. Saya menyambut baik kerana ini akan meredakan suhu kepanasan politik perkauman dan keagamaan yang sempit. Jadi, saya ucapkan tahniah kerana mereka telah berjaya menyetujui kehadiran PH yang di dalamnya adalah PKR, AMANAH dan DAP yang dahulunya dianggap sebagai ancaman kepada Melayu Islam dan sebagainya. Hari ini, kerajaan yang ada iaitu Melayu Islam di sebelah sana mengakui parti Pakatan Harapan ini bukan lagi sebagai ancaman kepada masa depan Melayu Islam tetapi adalah penyumbang kepada kestabilan politik dalam negara kita. Jadi saya harap selepas ini untuk pilihan raya yang akan datang ini, jangan lagi bermain dengan isu-isu perkauman yang sempit kerana ini akan mengheret kepada pertelagahan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara kita. Terima kasih kepada semua yang memperakui kehadiran Pakatan Harapan yang tidak lagi dilihat sebagai ancaman kepada Melayu Islam di dalam negara kita ini. Saya juga ingin mendapatkan dan memohon penjelasan daripada pihak kerajaan iaitu berkaitan dengan isu kenaikan harga ayam sekarang ini. Jadi saya mohon kepada pihak kerajaan untuk melihat masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini termasuk daripada pengguna dan juga penternak-penternak ayam. Isunya ialah kenaikan harga yang sangat tinggi yang bukan berlaku pada hari ini tetapi sejak dari musim perayaan hari raya yang lalu. Jadi ini menunjukkan kegagalan. Walaupun ada dua Timbalan Menteri, contoh nya. Ini saya kata dua Timbalan Menteri di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tetapi mereka tidak dapat mengatasi masalah ini bahkan berlarutan sehingga sekarang. Walaupun mereka telah mengisytiharkan harga tetapi penjual, penternak dan juga pemborong tidak boleh menjual pada harga yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Jadi saya mohon supaya kerajaan melihat kembali untuk memerangi kartel ayam yang memonopoli isu penternakan anak-anak ayam dalam negara kita. Begitu juga monopoli berkaitan dengan bekalan jagung import untuk makanan ayam. Ini juga harus dilihat kembali kerana ini akan membebankan masyarakat, pengguna dan juga penternak- penternak. Yang ketiganya, ialah isu kenaikan harga racun pertanian khususnya kepada penanam-penanam padi sekarang ini. Harga racun pertanian naik begitu tinggi sehingga menjadi beban kepada petani-petani padi khususnya racun glyphosate. Kalau dahulunya 20 liter glyphosate dengan harga RM220 tetapi sekarang ini saya difahamkan ia telah naik sebanyak RM320. Kalau yang empat liter, dahulu RM50 sekarang dah jadi RM70 sehingga RM72 untuk empat liter. Ini saya harap bahawa dalam musim penanaman padi yang sekarang sedang hendak bermula ini, seharusnya kerajaan melihat kembali
masalah-masalah yang dihadapi oleh petani dalam negara kita ini untuk memastikan supaya mereka tidak terbeban. Begitu juga dengan spare parts kepada jentera membajak ataupun mengambil padi. Spare parts ini boleh naik dengan harga tinggi dan ini akan menaikkan kos pengeluaran padi dalam negara kita dan ini akan memberikan hasil yang tidak baik kepada petani-petani. Akhir sekali, yang saya hendak sebut bahawa hari ini soalan saya nombor 76. Soalan saya ialah kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan, minta menyatakan berapa jumlah cabutan khas (special draw) pada tahun 2021 mengikut semua syarikat judi nombor ramalan. Jawapan yang diberikan kepada saya ialah, ‘Untuk makluman Ahli Dewan, Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan daripada semua agensi nombor ramalan (NFO) untuk cabutan khas sebanyak 22 kali bagi tahun 2021’. Ini Yang Berhormat Menteri Kewangan sekarang ini, bukan Yang Berhormat Menteri Kewangan dari Bagan. Menteri Kewangan dari Bagan dahulu, daripada 22 kali dia telah turun jadi lapan. Jadi, Yang Berhormat Menteri Kewangan sekarang ini, dia naik daripada lapan kali di bawah Yang Berhormat Menteri Kewangan dari Bagan itu menjadi 22 kali. Jadi, saya ucap syabaslah kerana ramai para ulama dan ustaz yang ada di dalam kerajaan, dalam Kabinet macam bersetujulah menerima hakikat bahawa negara perlu sebanyak 22 kali cabutan khas. Jadi, tahniah kepada PAS yang saya fikir bahawa mereka tak bantahlah sebab itu Yang Berhormat Menteri Kewangan boleh lulus.
Itu ikut kementerianlah.
Kalau bantah, sudah tentulah Kementerian Kewangan tidak boleh lulus. Ada Yang Berhormat Menteri duduk dalam Kabinet, bukan Yang Berhormat Menteri Agama sekarang. Yang Berhormat Menteri Agama dahulu, bekas mufti. Ada Yang Berhormat Menteri yang jaga air, dia juga seorang ulama. Ada Yang Berhormat Menteri yang jaga getah dahulu, dia juga seorang ulama. Jadi ini orang-orang yang mempunyai pengetahuan Islam, bibir yang basah dengan al- Quran dan hadis ini dan akhirnya mereka boleh menerima keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan. Jadi, saya ucapkan tahniah sekali lagi...
Yang Berhormat, masa dah tamat.
...kepada kerajaan yang menaikkan judi cabutan khas daripada lapan kali kepada 22 kali. Terima kasih. Assalammualaikum.
Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Tebrau, kemudian Yang Berhormat Kota Belud, kemudian Yang Berhormat Machang. Sila Yang Berhormat Tebrau, 12 minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua mengizinkan saya sertai perbahasan titah Agong. Tuan Yang di-Pertua, dalam isu pemerkasaan Pelan COVID-19, saya mohon mencadangkan segala yang telah dilaksanakan selama ini dapat ditambah baik khususnya dalam penguatkuasaan SOP. Terlalu banyak rintihan yang telah disuarakan oleh rakyat bahawa SOP yang ditetapkan tidak dilaksanakan oleh semua pihak dan ini adalah punca utama bilangan kes positif COVID-19 di Malaysia masih tinggi secara amnya dibandingkan dengan negara lain walaupun kita adalah negara yang mencatat kadar vaksinasi yang paling pantas. Usaha-usaha untuk mencapai imuniti berkelompok seluruh negara pada hujung bulan Oktober ini amat dihargai oleh keseluruhan rakyat. Namun begitu, matlamat ini tidak harus dianggap sebagai satu penyelesaian tetapi satu permulaan norma baharu yang mana virus COVID-19 akan bersama kita dalam masa yang lama lagi. Peruntukan khas harus disediakan untuk diberi dos vaksin tambahan setiap enam bulan kepada setiap penduduk, tidak mengira mereka adalah warga atau tidak.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon peruntukan khas disediakan bagi hospital- hospital besar khususnya Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru bagi memastikan keperluan tambahan peralatan, katil dan ubat-ubatan yang diperlukan untuk menampung peningkatan pesakit-pesakit COVID-19 dapat disalurkan supaya tiada pesakit akan ditolak rawatan atau diberi rawatan yang kurang walaupun kes-kes yang perlu rawatan sudah mula menurun dalam dua ke tiga minggu yang lalu. Ada banyak pusat penjagaan warga emas, orang tidak upaya dan kurang upaya, anak yatim, pemulihan dadah dan sebagainya telah kurang menerima derma dalam bentuk duit dan barangan keperluan selepas PKP dilaksanakan sejak bulan Mac tahun 2020. Saya mohon kerajaan ambil perhatian dalam perkara ini dan memperuntukkan dana khas untuk menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada pusat-pusat penjagaan yang berdaftar. Saya juga memohon perhatian Yang Berhormat Menteri Kesihatan terhadap kesesuaian tempat-tempat yang digunakan sebagai pusat CAC swasta.
Banyak pusat CAC swasta menggunakan kedai untuk tujuan ini. Ini membuatkan orang ramai tidak berani mengunjungi kedai-kedai di sebelah kiri dan kanan pusat CAC swasta. Saya mencadangkan kementerian mesti menetapkan syarat supaya pusat CAC swasta hanya boleh dibuat di padang, balai raya atau tempat yang tidak menggugat keselamatan orang ramai yang sihat. Tuan Yang di-Pertua, ada sekurang-kurangnya satu juta warga Malaysia yang belajar, kerja atau menetap sementara di luar negara. Ramai di antara mereka sudah habis menerima vaksin dua dos tetapi kerajaan kemungkinan besar tidak mempunyai data ini dan ini akan buat pengiraan kadar vaksinasi yang dilaporkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa tidak tepat. Ramai warganegara ini sudah balik ke tanah air dan ditambah lagi dengan pemegang MM2H dan pas residen sementara atau permit kerja sudah masuk ke Malaysia. Adakah kerajaan sudah menyediakan kaedah untuk memastikan MySejahtera mereka dikemas kini dengan maklumat bahawa mereka sudah habis terima vaksin dua dos. Warga Malaysia yang terkandas di Singapura memohon keprihatinan pihak kerajaan mencari jalan menang dan tenang kepada semua yang terkandas di Singapura. Statistik menunjukkan seramai 300,000 warga Malaysia ulang-alik ke Singapura setiap hari untuk mencari rezeki sebelum wabak COVID-19. Warga Malaysia berbilang kaum terkandas sekian lama di Singapura kerana sekatan perjalanan kedua-dua kerajaan dan melibatkan kos yang amat tinggi. Kerajaan Persekutuan perlu membuat sesuatu yang membolehkan warga Malaysia yang sekian lama tidak dapat bersama keluarga dapat pelepasan perjalanan dari Singapura ke Malaysia dan Malaysia ke Singapura setiap bulan. Kebanyakan warga Malaysia sudah divaksin dua dos di Singapura dan sudah biasa mematuhi SOP setiap hari. Warga Malaysia yang bekerja di Singapura dari segi perspektif ekonomi Malaysia, dianggarkan berpuluh bilion ringgit setahun. Mereka membawa foreign currency dengan izin untuk kestabilan Ringgit Malaysia. Harap pihak Kerajaan Persekutuan boleh membuat sesuatu yang memberi ketenangan kepada warga Malaysia yang bekerja di Singapura. Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Persekutuan ada menyalurkan bantuan seperti GKP tetapi saya mendapati bahawa ramai PKS atau SME dengan izin telah menghentikan perniagaan atau mengecilkan operasi semasa PKP dilaksanakan. Saya berpendapat bantuan yang paling memerlukan adalah modal untuk memulakan balik atau mengembangkan perniagaan mereka. Saya mohon mencadangkan bahawa pinjaman dengan kadar faedah murah sehingga RM50,000 setiap perusahaan dapat diberi kepada mereka melalui Bank Simpanan Nasional atau Bank SME dengan jaminan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM5 bilion supaya sumbangan daripada PKS atau SME yang memberi banyak peluang pekerjaan kepada warga Malaysia selain daripada sumbangan kepada KDNK (GDP) dengan izin tidak terjejas.
Tuan Yang di-Pertua, buat masa sekarang ramai yang menyewa rumah telah dihalau keluar rumah kerana tidak membayar sewa berbulan-bulan dan ramai lagi telah diugut dengan nasib yang sama. Peruntukan khas juga harus disediakan untuk menempatkan warga Malaysia yang menyewa rumah dan dihalau keluar di hotel-hotel bajet atau homestay sementara supaya mereka tidak menjadi gelandangan dan pada masa yang sama pemilik-pemilik hotel bajet dan homestay dapat pendapatan. Tuan Yang di-Pertua, Singapura sudah mencapai imunisasi berkelompok dan mereka sudah beralih daripada pandemik kepada endemik. Hampir semua aktiviti komersial sudah beroperasi. Dengan itu, majikan-majikan Singapura telah mula menawarkan kerja-kerja dan ramai warga Malaysia telah ditawarkan kerja di Singapura. Buat masa ini, semua warga Malaysia yang mahu keluar ke Singapura perlu memohon permit keluar (exit permit) melalui MyTravelPass. Malangnya, tempoh daripada permohonan sehingga satu keputusan ditolak atau lulus oleh Jabatan Imigresen mengambil masa yang agak panjang sehingga melebihi dua minggu pun ada. Saya telah terima banyak luahan daripada pemohon-pemohon. Antara sebab utama permohonan ditolak selepas menunggu dua minggu ke atas termasuk dokumen tidak lengkap dan fail tidak boleh dimuat naik atau turun. Saiz fail yang boleh diterima oleh MyTravelPass terlalu kecil. Saya berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kita tidak mahu warga yang dapat tawaran kerja di luar negara tidak dapat melaporkan diri untuk bermula bekerja atas sebab isu teknikal dalam sistem MyTravelPass. Tuan Yang di-Pertua, ramai rakyat sedang mengalami masalah psikologi atau masalah mental yang disebabkan kematian ahli keluarga kerana jangkitan COVID-19, kehilangan mata pencarian, isu along dan sebagainya. Ini sudah pasti adalah punca utama peningkatan kes bunuh diri. Oleh yang demikian saya memohon keprihatinan kerajaan untuk menggalakkan mana-mana pihak yang berasa berat dalam perkara ini untuk menumpu pusat atau kaunter kaunseling dengan bantuan modal daripada kerajaan supaya usaha sebegini boleh membendung kes bunuh diri atau sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang mengalami masalah psikologi supaya keseriusan masalah mereka tidak akan bertambah teruk dan tidak akan membebankan keluarga mereka. Tuan Yang di-Pertua, dalam perkara pemulihan dan pemerkasaan ekonomi, saya ingin kerajaan memberi tumpuan kepada SME dan pelaporan langsung asing FDI dengan izin. Lokasi untuk mendapatkan kesemua kelulusan agensi-agensi sebelum boleh berniaga sudah lama menjadi isu yang menyekat perkembangan ekonomi negara kita. Kerajaan harus komited untuk melicinkan arus pemprosesan kesemua kelulusan. Permohonan-permohonan kepada agensi-agensi yang berkenaan harus boleh dibuat serentak dan bukan berperingkat di mana satu permohonan hanya boleh dikemukakan sekiranya sudah memperoleh kelulusan agensi yang lain terdahulu. Kelulusan harus diletakkan syarat bahawa kelulusan itu akan berdaftar secara automatik sekiranya mana-mana satu syarat kelulusan tidak dipenuhi oleh pemohon. Tuan Yang di-Pertua, kesemua projek fizikal dan bajet untuk projek pembangunan mesti berdasarkan kepada keperluan atau need-based, dengan izin dan berdaya maju untuk mengelakkan projek gajah putih (white elephant), dengan izin. Kaedah perundingan terus harus diharamkan bagi projek pembangunan yang bernilai RM2 juta ke atas atau satu angka yang sewajarnya untuk memastikan hanya kontraktor yang ada rekod yang baik, berintegriti tinggi dan berupaya dari segi dana dan pengetahuan serta pengalaman teknikal dan akan dipilih melalui tender terbuka. Sekiranya kerajaan ada kaedah dan pendekatan lain yang boleh menjamin tiada pembaziran besar-besaran akan berlaku, saya jemput untuk diberi penjelasan.
Yang Berhormat, minta rumuskan.
Okey, bagi saya satu minit lagi ya. Skop kerja atau bidang kuasa antara jabatan dengan jabatan, badan dengan badan,
agensi dengan agensi dan akhirnya kementerian dengan kementerian kena jelas untuk mengelakkan pertindihan yang akan jadi alasan untuk tolak ke sini sana dan tiada orang yang mahu ambil tanggungjawab. Jabatan agensi kerajaan termasuk GLC’s mesti dianggotai dengan orang yang ada pengalaman dan memperoleh bidang serta tahap pendidikan yang relevan.
Seseorang yang ada kes jenayah yang masih belum diselesaikan proses perbicaraan atau masih belum diputuskan secara muktamad di mahkamah tidak harus pegang apa-apa jawatan awam dalam pentadbiran kerajaan. Agensi-agensi kerajaan atau GLC-GLC ini amat penting bagi meyakinkan pelabur-pelabur dari luar negara. Dengan inilah ucapan saya, saya ingin menyokong titah Yang di-Pertuan Agong. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Kota Belud, 12 minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya menjunjung kasih titah diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas. Saya menyahut dengan penuh taat setia sebagai seorang wakil rakyat atas nasihat dan saranan titah Duli Yang Maha Mulia berkenaan dengan keperluan memulihkan semula ekonomi negara dan mengembalikan fokus kepada usaha memerangi COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara. Saya akan membawa beberapa isu atas perbahasan kali ini. Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan laporan anggaran pendapatan isi rumah dan insiden kemiskinan Malaysia 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah berbanding 405.4 ribu pada 2019. Manakala sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 beralih kepada kumpulan B40. Kadar kemiskinan mutlak juga telah meningkat dari 5.6 peratus pada tahun 2019 kepada 8.5 peratus pada tahun 2020 dan dianggarkan kadar kemiskinan mutlak di Sabah sudah mencapai satu dari empat isi rumah iaitu 25 peratus. Soalan saya, berapa ramai murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang tercicir persekolahan kerana faktor kemiskinan sejak COVID-19 melanda negara ini untuk negeri Sabah dan Daerah Kota Belud khususnya. Apakah langkah-langkah yang telah pun dilakukan oleh pihak kerajaan kepada mereka yang tercicir ini. Laporan yang sama juga menunjukkan hampir 40 peratus isi rumah di Sabah berpendapatan RM3,000 ke bawah berbanding 22.4 peratus untuk seluruh Malaysia. Untuk Kota Belud terdapat lebih kurang 26,000 ketua isi rumah secara keseluruhan, daripada jumlah tersebut terdapat 11,475 tergolong dalam kategori eKasih dan B40 tetapi saya bersetuju bahawa data ini tidak mewakili kesemuanya secara holistik kerana masih ramai di luar sana yang sebenarnya dalam kategori miskin dan miskin tegar apalagi selepas COVID-19 melanda. Saya berpendapat bahawa ini adalah masa yang paling sesuai untuk membuat data collection yang lebih tepat. Saya percaya banyak orang yang terkesan kehilangan pendapatan. Ada juga yang sepatutnya masih memerlukan bantuan tetapi ditamatkan selepas tempoh tertentu. Begitu ramai keluarga yang sepatutnya mendapat bantuan tetapi tidak tersenarai dalam golongan ini. Walau bagaimanapun, agensi seperti Jabatan Kebajikan mempunyai banyak kekangan untuk verify setiap KIR yang terkesan kerana faktor kekurangan manpower terutamanya di daerah luar bandar di mana kawasan inilah yang paling banyak mempunyai golongan eKasih dan B40. Saya cadangkan agar pihak kerajaan menerima
permohonan yang juga dibuat oleh Ketua Kampung, JPKK, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Yang Berhormat Ahli Parlimen dan Yang Berhormat ADUN. Dengan cara ini akan memudahkan proses mengambil data. Tuan Yang di-Pertua, Keseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar harus sentiasa menjadi perkara utama dan transformasi kerajaan. Kenikmatan pembangunan itu perlu dirasai oleh semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa, agama, umur dan juga budaya. Apatah lagi kawasan saya di Parlimen Kota Belud adalah antara kawasan luar bandar yang perlu diberi perhatian secara serius oleh pihak kerajaan. Saya ingin sebut sekali lagi. What had happened to jalan-jalan seperti berikut: (i) Jalan Kampung Talungan Terintidon – Sayap; (ii) Jalan Kampung Gandukut – Tengkurus – Lahanas; (iii) Jalan Kampung Mangkulat – Pinoloboh – Podos; (iv) Jalan Kampung Toburon; (v) Jambatan kenderaan yang menyeberangi Sungai Kedamaian ke Kampung Kauh Lobong-Lobong di mana sekolah dan kebanyakan penduduk tinggal. Saya rasa saya sudah nyatakan perkara yang sama, jalan yang sama semasa bahas Titah Diraja tahun lepas. Sekarang apa jadi? Jalan Gandukut–Tengkurus–Lahanas saya difahamkan sudah punya kelulusan sepanjang 10 kilometer pada tahun 2019 sampai sekarang belum lagi dilaksanakan. Selepas itu cakap merdeka. Layakkah? Saya juga ingin bertanya bantuan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan yang sudah pun mengalami kerugian sejak ia ditutup Mac 2020. Untuk memulakan perniagaan semula amat payah. Banyak bot, jeti dan lain-lain memerlukan pembaikan tetapi pengusaha pelancongan telah pun kekurangan modal untuk membuat semula. Ini banyak sekali terjadi di Kota Belud. Saya tidak mahu hanya kerana kami daerah luar bandar tetapi nasib kami tidak dipandang. Ini belum lagi bercakap soal isu gangguan bekalan elektrik, isu tiada air, tiada pekerjaan, isu pembaikan sekolah. Tuan Yang di-Pertua, saya ada sedikit kerisauan mengenai pemberian vaksin kepada anak-anak berumur 12 hingga 17 tahun. Saya masih ingat lagi sewaktu mesyuarat khas Julai lalu bahawa semasa Yang Berhormat Rembau masih lagi Menteri MOSTI, beliau ada berkata bahawa pemberian vaksin kepada anak-anak ini ditangguhkan dahulu kerana terdapat kesan sampingan kepada golongan ini di Amerika Syarikat. Sebulan selepas itu KKM meluluskan vaksinasi kepada mereka. Maka soalan saya, apakah justifikasi kerajaan memberikan vaksinasi kepada golongan ini? Apakah adakah dosage yang diberikan kepada mereka ini sama seperti golongan dewasa sedangkan golongan dewasa sendiri mengalami demam, lenguh badan, hilang suara dan sebagainya? Bagaimana nanti dengan anak-anak ini? Saya juga ingin bertanya mengapa setelah kadar vaksinasi sudah melebihi 78.8 peratus tetapi kes masih lagi tinggi. Saya ambil contoh seperti Kota Belud, sehingga pada 15 September 2021 kadar penerima vaksin dos kedua sudah pun melebihi 50 peratus tetapi purata kes positif harian untuk data seminggu sebanyak 78 orang sedangkan pada sewaktu belum lagi melakukan program outreach, kes hanya lebih 20 hingga 30 sehari. Even kurang daripada itu. Apakah faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku? Siapa mereka yang positif, lengkap vaksin atau tidak? Adakah disebabkan faktor variant juga? Terima kasih, saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua frontliners dan juga pihak-pihak yang terlibat yang telah bertungkus-lumus membuat program outreach terutamanya di Kota Belud. Tuan Yang di-Pertua, COVID-19 telah menunjukkan jurang yang sangat besar terhadap fasiliti dan kepakaran kesihatan antara Sabah dan Sarawak serta Semenanjung. Sampai bila kami perlu meminta-minta hospital baharu? Sampai bila klinik kesihatan kami akan dinaik taraf? Sampai bila isu kekurangan tenaga pakar di Sabah akan diselesaikan?
Apakah kami ini rakyat kelas dua sehingga apa sekalipun kami perlu minta setiap kali dan masih tidak ditunaikan? [Tepuk] Perkara sekecil sebagai contoh untuk mempercepatkan keputusan swab ke atas jenazah juga sering datang kepada saya. Kami terpaksa menunggu dua hari untuk mendapatkan keputusan swab PCR kepada kes-kes yang melibatkan brought-in-dead, barulah jenazah dapat disemadikan. Bagaimana pula kes-kes BID yang terpaksa menunggu pihak KKM untuk semadikan jenazah?
Hospital Kota Belud tidak mempunyai kenderaan jenazah untuk menguruskan pengebumian sebelum COVID-19 atau semasa COVID-19. Wilayah Sabah, Sarawak dan negeri Kelantan sentiasa berlumba-lumba untuk menjuarai carta kemiskinan di Malaysia yang mana Sabah sentiasa mendahului carta ini dan besar kemungkinan kalau tiada usaha dilakukan untuk menyelesaikan masalah struktur ini, maka sampai bila-bila kita akan terus melihat tiga buah negeri dan wilayah ini kekal menjuarai carta kemiskinan negara. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin menyentuh mengenai Akta Laut Wilayah 2012 atau dikenali sebagai Akta 750. Kalau saya boleh terangkan sedikit kronologi kewujudan akta ini di dalam Dewan dan mengapa kesemua Ahli Parlimen Sabah tidak kira sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang harus menolak atau meminda satu akta yang meneruskan kesinambungan penindasan dan mengetepikan hak rakyat Sabah sejak tahun 1969 sehingga kini. Pada Mei 1969, kerajaan telah mengisytiharkan darurat akibat rusuhan kaum di Semenanjung. Maka, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No. 7 1969 telah dikuatkuasakan dan salah satu perkara yang menjadi perhatian adalah perairan wilayah semua negeri telah dihadkan menjadi tiga batu nautika sahaja. Apa yang menarik, Ordinan Darurat tersebut masih berkuasa sehinggalah pada November 2011. Setelah mendapat desakan daripada pembangkang, ia telah ditamatkan di Parlimen. Maka perairan di Sabah telah kembali kepada 12 batu nautika. Malangnya, kegembiraan kepada rakyat Sabah setelah mendapat hak perairannya semula tidak berpanjangan kerana kerajaan pada waktu itu sedar akan kesilapan mereka. Maka, pada April 2012, kerajaan telah luluskan Akta Wilayah Laut 2012 yang secara jelas mengehadkan sempadan laut atau perairan negeri-negeri kepada hanya tiga batu nautika sahaja. Apakah kesannya? Sabah telah hilang hak-hak kedaulatan dan bidang kuasa ke atas kawasan pelantar benua yang terdiri dari dasar laut dan tanah bawahnya yang berhampiran. Hak-hak negeri untuk menangkap ikan marin dan sumber mineral, tapak- tapak pelancongan dalam kawasan marin dan sebagainya kini hanya dalam lingkungan tiga batu nautika, 5.5 atau 6 kilometer dari pantai. Adakah akta ini telah melanggar Perlembagaan Persekutuan? Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengubah sempadan mana-mana negeri tetapi undang-undang yang mengubah sempadan tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Raja-Raja. Persoalannya, adakah Dewan Undangan Negeri Sabah dan Majlis Raja-Raja telah meluluskan perkara ini? Jawapannya tidak sama sekali. Adakah ia telah melanggar Perlembagaan Persekutuan? Berdasarkan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan yang disebutkan tadi, ia jelas telah melanggar undang-undang tertinggi negara. Oleh yang demikian, saya menggesa dan mengajak semua Ahli Yang Berhormat khususnya dari Sabah menyatakan pendirian dengan jelas dan tegas bahawa Akta 750 ini tidak boleh diguna pakai ke atas Sabah. Tuan Yang di-Pertua, sewaktu Yang Berhormat Semporna menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau telah berjaya mendapatkan 17 daripada 21 perkara yang dituntut oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak ketika Pakatan Harapan menjadi Kerajaan
Persekutuan. Kini setelah negara menyaksikan peralihan kuasa Perdana Menteri yang ketiga untuk penggal ke-14 ini, saya ingin bertanya kepada perkembangan empat lagi baki untuk tuntutan itu yang tidak sempat diluluskan oleh sebab kerajaan telah pun jatuh walaupun kami diberikan mandat oleh rakyat selama lima tahun. Adalah empat perkara iaitu petroleum cash payment, oil mineral and oil fields, territorial CX2012X715 dan state’s right over the continental shelf. Jawapan yang diberikan kepada saya pada November tahun lepas bahawa kerajaan sedang memuktamadkan struktur dan komposisi Majlis Khas MA63 di mana akan bersidang buat pertama kali selepas November tahun lepas. Kini setelah Perdana Menteri bertukar tetapi masih mengekalkan Menteri dan Timbalan Menteri yang ada, saya ingin bertanya kepada empat lagi tuntutan yang saya sebutkan tadi. Perutusan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob ketika sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021 di Kota Kinabalu beberapa hari lepas mengatakan kerajaan memberi jaminan untuk terus memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan menerusi Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak serta lapan orang Menteri persekutuan.
Yang Berhormat, masa sudah tamat. Minta rumuskan.
Tuan Yang di-Pertua, last. Cuba beritahu dengan saya, bagaimana saya mahu percaya to the man yang tidak pun mengundi kepada constitutional amendment for Sabah dan Sarawak pada 9 April 2019 di mana waktu itu Yang Berhormat Bera merupakan Ketua Pembangkang termasuklah mereka yang kebanyakan waktu itu sekarang berada di pihak kerajaan, tiba-tiba mahu melaksanakan perjanjian MA63 pula? Don’t tell me ini adalah gula-gula yang diberikan sempena jadi Perdana Menteri. Jangan beritahu dengan saya, ini adalah ucapan yang hanya menyedapkan telinga... [Tepuk] Baru minggu lepas kita meraikan Hari Malaysia yang ke-58.
Tidak ada masalahnya, Yang Berhormat. Terimalah. Itukan baik untuk kita.
Yang ke- 58 tetapi ucapan saya juga masih sama bercakap mengenai jalan raya yang belum asphalt, bercakap mengenai sekolah yang masih usang, bercakap mengenai fasiliti dan tenaga pakar kesihatan yang masih kurang. [Tepuk] Dolak-dalik Kerajaan Pusat dalam membuat keputusan menyalurkan dana pembangunan yang kita minta sangat mengecewakan. Pandemik COVID-19 datang terlebih dahulu sebelum infrastruktur yang datang.
Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat, terima kasihlah. Sudah lebih lima minit.
I didn’t come to politics to change Parti Warisan or Federal Government, but I came into politics to change the country. Kota Belud menjunjung kasih. Terima kasih. [Tepuk]
Terima kasih Yang Berhormat Kota Belud. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Machang.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas ruangan masa yang diberikan untuk saya turut sama membahaskan titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Bera yang telah mendapat kepercayaan Ahli Dewan ini untuk menggalas tanggungjawab yang besar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9. Tuan Yang di-Pertua, pandemik COVID-19 yang melanda negara kita pada waktu ini telah mengakibatkan ekonomi negara telah bergerak dalam suasana yang cukup muram sejak dua tahun kebelakangan ini. Pandemik COVID-19 dan kesuraman ekonomi dunia bolehlah diibaratkan sebagai kembar. Ia saling melengkapi dan berhubung kait antara satu sama lain. Ia juga telah menjejaskan ekonomi negara secara total. Jika kita rujuk kepada data dari Jabatan Perangkaan Malaysia pada 18 Jun 2021, prestasi FDI Malaysia telah menyusut sebanyak 54.8 peratus di mana aliran masuk bersih sebanyak RM14.6 bilion pada tahun 2020 turun 54.8 peratus daripada RM32.4 bilion pada tahun 2019 yakni terendah sejak tahun 2009. Penurunan aliran FDI tersebut berpunca daripada penarikan saham ekuiti dan dana pelaburan syarikat-syarikat asing.
Terdahulu pada bulan Mac, FDI Malaysia turut dilaporkan menguncup sebanyak 5.6 peratus yang menandakan prestasi terburuk negara yang pernah dialami selepas penguncupan sebanyak 7.4% yang pernah berlaku disebabkan Asian financial crisis pada tahun 1998. Tuan Yang di-Pertua, pada 21 Jun 2021 pula, United Nations Commission on Trade and Development turut melaporkan pengurangan FDI 25 peratus bagi subwilayah Asia Tenggara. Singapura, Indonesia dan Vietnam semuanya mencatatkan penurunan FDI. FDI ke Singapura turun 21 peratus, ke Indonesia 22 peratus dan ke Vietnam sebanyak 2 peratus. Namun begitu, negara Asia Tenggara yang mencatat penurunan FDI yang amat ketara adalah Myanmar sebanyak 35 peratus dan yang terakhir ialah negara kita Malaysia sebanyak 55 peratus. Justeru, yang menjadi tanda tanya dan persoalan adalah mengapakah FDI Malaysia berada di tangga yang paling tercorot di Asia Tenggara? Kadar yang paling tinggi jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Walaupun COVID-19 menjadi salah satu faktor kepada ketidaktentuan ekonomi, ia tidak boleh dijadikan batu asas yang utama memandangkan negara jiran lain turut berhadapan dengan situasi pandemik ini. Jika negara jiran lain mampu mengawal penguncupan FDI mereka dengan melebihi nilai 40 peratus, mengapa negara kita satu-satunya negara yang mengalami penguncupan melebihi pada paras 50peratus? Sebelum PRU 2018, Malaysia adalah salah sebuah negara ASEAN dengan FDI tertinggi yang mana pada akhir pada tahun 2017, nilai FDI Malaysia adalah bernilai USD12 bilion, meninggalkan Indonesia pada nilai USD9 bilion dan Thailand pada nilai USD7 bilion pada waktu itu. Akan tetapi hari ini, FDI kita jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara jiran yang lain. Jadi, salah siapakah dalam soal ini? Malaysia kini Tuan Yang di-Pertua, bukan lagi merupakan destinasi impian bagi pelabur asing. Banyak syarikat multinasional yang telah menarik pelaburan daripada negara kita, contohnya IBM. Ini bukan satu perkara yang biasa, bahkan terlalu luar biasa. Bagaimana sebuah syarikat gergasi asing yang telah lama bertapak di negara ini tiba-tiba membuat keputusan untuk melangkah keluar daripada ekonomi kita. Ini harus kita kaji kerana sekiranya perkara ini terus berlaku, ia bukan sahaja akan merudumkan pelaburan masuk di dalam negara tetapi mengakibatkan peluang pekerjaan juga terbantut. Jadi, perlu bagi kita satu rangka kerja yang holistik dan langkah khusus di dalam mengkaji keberkesanan Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini. Adakah mungkin pakej-pakej tersebut kurang memberangsangkan dan tidak mencapai standard pelabur-pelabur asing? Ini perlu dikaji dengan lebih mendalam. Tuan Yang di-Pertua, penarikan pelaburan oleh syarikat asing ini bukan sahaja menjejaskan makro ekonomi negara tetapi ia memberi kesan yang terus kepada rakyat apabila ribuan rakyat hilang pekerjaan. Inilah yang tujuan saya membangkitkan perkara ini di Dewan yang mulia pada hari ini. Sudahlah krisis pengangguran di negara ini sejak kebelakangan ini sememangnya sedang meruncing, ditambah lagi dengan krisis sewaktu pandemik ini. Ia
telah merencatkan lagi peluang pekerjaan baru yang sepatutnya disediakan oleh pihak kerajaan dan juga pihak swasta. Saya ingin memetik Laporan Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bilangan siswazah menganggur meningkat begitu ketara sehingga 22.5 peratus iaitu seramai 37,200 orang pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 165,200 kepada 202,400 orang. Ini Tuan Yang di-Pertua, suatu angka yang amat besar. Lebih separuh daripada kenaikan jumlah graduan yang dilaporkan pada tahun 2020 yang mana jumlah graduan siswazah Malaysia meningkat sebanyak 70,000 orang pada tahun 2020 iaitu daripada 5.29 juta pada tahun 2019 kepada 5.36 peratus pada tahun 2020. Ini ialah suatu perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan kerana kita dapat lihat peningkatan jumlah graduan yang dihasilkan oleh negara tidak selari dengan peluang pekerjaan baru yang dicipta. Ini semua telah mengakibatkan jumlah pengangguran semakin meningkat dalam kalangan graduan. Para graduan kita pada hari ini ialah golongan belia dan mereka ini merupakan aset kepada negara yang perlu dijaga. Mereka inilah yang bakal mewarisi kita di masa yang akan datang. Jika kemerosotan peluang pekerjaan untuk belia ini tidak ditangani dengan baik, maka ia akan mengakibatkan banyak lagi masalah sosial yang akan berlaku. Kadar jenayah negara ini sudah tentu juga akan meningkat berikutan semakin ramai rakyat yang terkesan dan tidak mempunyai pekerjaan untuk menampung kehidupan seharian mereka. Jadi, disebabkan itulah saya mohon yang amat kepada kerajaan pada hari ini tolonglah perkasakan golongan belia kita. Wujudkan lebih banyak kursus yang memfokuskan kemahiran dan latihan bagi mempersiapkan dan juga meningkatkan ke boleh pasaran kerja di dalam negara ini. Tuan Yang di-Pertua, jika kita lihat pada hari ini banyak belia telah kehilangan pekerjaan apabila banyak syarikat multinasional telah menutup operasi mereka di dalam negara. Walaupun dalam keadaan kerajaan telah mengumumkan pelbagai inisiatif, contohnya Program Subsidi Upah bagi menarik minat syarikat-syarikat gergasi ini yang telah mengekalkan pekerjaan mereka. Namun, ia masih dilihat belum betul-betul berjaya. Begitu juga Tuan Yang di-Pertua, dengan program-program seperti Program SL1M yang telah ditamatkan kemudian dijenamakan semula di bawah jenama Protege. Saya ingin bertanya, jika dahulu kita tahu bahawasanya SL1M adalah salah satu program pembangunan belia yang amat berjaya dengan outcome yang terbukti sukses. Namun begitu, apakah berlaku apabila berlaku peralihan kerajaan? Program tersebut telah dihentikan dan dijenamakan semula dengan nama Protege di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Keusahawanan. Apa outcome, hasil daripada program ini? Adakah ia lebih baik ataupun ia menjadi malang? Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyebut banyak perkara tetapi kerana keadaan masa tidak mengizinkan, berkenaan dengan negeri Kelantan yang begitu dekat di hati saya. Saya ingin menyuarakan di sini soal masalah yang dihadapi oleh rakyat di negeri Kelantan iaitu bekalan air bersih dan juga air terawat. Saya berharap agar pihak kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang sudah ada suatu pertalian yang jelas pada hari ini, mengadakan suatu rundingan dan juga menyatakan kepada kita, apakah hasil daripada perundingan-perundingan yang telah dibuat pada tahun 2018 dulu akan terus dilaksanakan ataupun apakah perancangan-perancangan tersebut sudah ada suatu perancangan baru? Kita maklum bahawasanya soal air di negeri Kelantan ini sudah berlarutan lebih daripada tiga dekad dan sepatutnya perkara ini dapat diselesaikan sudah lama tetapi janji demi janji yang diterima oleh rakyat Kelantan belum lagi mendapatkan hasil sehingga hari ini. Kedua, saya ingin menyuarakan di sini soal beberapa program, khususnya untuk kawasan saya di Machang, contohnya Pusat GIATMARA Machang. Setahu saya ia diluluskan, sudah pun diluluskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 tetapi sampai hari ini belum dilaksanakan. Ketiga, saya sudah membangkitkan perkara ini berkali-kali di dalam Dewan yang mulia ini, soal penubuhan sebuah pejabat pendidikan daerah yang berasingan. Oleh
kerana sekarang ini pejabat pendidikan daerah di Machang ini menumpang di sebuah sekolah rendah di dalam kawasan Machang iaitu di Sekolah Kebangsaan Tok Bok.
Sudah sampai masanya di dalam soal kita memperkasakan bidang pendidikan ini mana boleh Tuan Yang di-Pertua, pejabat pendidikan daerah pun menumpang di sebuah sekolah kebangsaan.
Yang Berhormat, tolong rumuskan Yang Berhormat.
Bagi saya, kerajaan perlu melihat perkara ini secara serius dan saya berharap agar di dalam belanjawan yang akan datang, ia akan dapat dimasukkan. Saya ucap terima kasih banyak-banyak kepada Tuan Yang di- Pertua dan bagi saya, sama-samalah kita berdoa agar Yang Amat Berhormat Bera diberi kekuatan terus istiqamah di dalam menjalankan tugas untuk memastikan negara kita dapat melangkah lebih baik daripada sebelumnya. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumusalam. Terima kasih Yang Berhormat Machang. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Padang Serai kemudian diikuti dengan Yang Berhormat Tanjong Manis dan kemudian Yang Berhormat Segambut. Sila.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Salam sejahtera, salam harapan dan salam Keluarga Malaysia diucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana berkat rahmat tuhan, Malaysia kekal aman dan kita mampu bersidang pada hari ini bagi membahaskan isu-isu yang menjadikan perhatian rakyat jelata. Ingin saya menarik perhatian Dewan yang mulia ini mengenai isu kemiskinan. Walaupun sudah 64 tahun berlalu selepas negara mencapai kemerdekaan, namun tahap kemiskinan masih berada di tahap yang menyedihkan. Saya tidak menafikan bahawa kadar kemiskinan boleh dikurangkan dengan segera. Mengikut statistik pada tahun 2019, kadar kemiskinan adalah 5.6 peratus dan tahun seterusnya kadar ini telah meningkat kepada 8.4 peratus. Kadar kemiskinan di negeri Kedah pada tahun 2019 adalah 8.8 peratus dan tahun seterusnya kadar ini menjadi 12.7 peratus. Soalan saya, apakah rancangan jangka panjang kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini? Seterusnya, saya ingin membentangkan isu etika pentadbiran di negara ini. Pada pertengahan April 1982, Mantan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada ketika itu Yang Berhormat Langkawi melancarkan Kempen Bersih, Cekap dan Amanah. Seterusnya pada tahun 1983 diperkenalkan konsep asas iaitu Kepimpinan Melalui Teladan. Kemudian, pada tahun 1985 telah diperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran Kerajaan. Soalan saya, selepas penerapan pelbagai kempen dan konsep yang penuh bermoral dan beretika, mengapa kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa semakin meningkat dan berleluasa di negara ini? Adakah orang yang mempunyai kuasa dan pangkat terlibat dalam kes-kes ini menyebabkan tiada tindakan yang diambil namun jika orang yang mencuri kerana kesempitan hidup terus kena masuk penjara. Kenapa perlu ada double standard? Seterusnya saya menarik perhatian Dewan yang mulia ini mengenai isu pertahanan. Seperti dinyatakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa pertahanan negara perlu dititikberatkan dalam memastikan negara berdaulat ini terus dilindungi berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Global Firepower, kekuatan
tentera kita berada di tangga keenam di Asia Tenggara bagi tahun 2021 dan perkara ini patut menjadi perhatian kepada kerajaan.
Minta laluan Yang Berhormat Padang Serai? Sikit sahaja.
Ya.
Sikit sahaja, saya ingin tanya pandangan Yang Berhormat Padang Serai berkenaan menyentuh isu rasuah. kita lihat juga bahawa terdapat kejadian-kejadian di mana siasatan dimulakan oleh pihak SPRM ke atas Ahli-ahli Parlimen di sebelah sini. Selepas mereka menjadi Ahli Bebas, menyatakan sokongan kepada di sebelah sana, penyiasatan kes-kes SPRM digugurkan dan kita juga lihat bahawa ada Ahli-ahli Parlimen di sebelah sana juga yang pada suatu ketika lantang mengkritik Yang Berhormat Pagoh dan kes-kes rasuah yang disiasat ke atas mereka juga tiba-tiba menjadi senyap. Apakah pandangan Yang Berhormat kalau pihak SPRM disalahgunakan oleh kerajaan untuk menyiasat dan juga memaksa sokongan terhadap kerajaan daripada Ahli- ahli Parlimen di sebelah sini dan mereka tidak menyiasat kejadian-kejadian rasuah sebenarnya? Saya menjemput Yang Berhormat untuk memberi pandangan, terima kasih.
Okey, ucapan ini masuk dalam ucapan saya dan saya juga ingin tambah sedikit dalam perkataan dalam bahasa Tamil dia kata. [Berucap dalam bahasa Tamil] Bermaksud bila kita tengok daripada sini, sana nampak hijau. Bila sudah di sana, sini pula nampak hijau. Itulah jadi sekarang.
Baik ke hijaulah.
Dengan itu saya ingin mencadangkan agar kerajaan menambah bilangan aset tentera terutama melibatkan kapal terbang perang dan helikopter. Aset-aset ini mempunyai pelbagai fungsi yang boleh digunakan bukan sahaja untuk kawalan udara tetapi juga digunakan semasa krisis dalam negara seperti bencana alam dan kecemasan yang tidak dapat dielakkan di mana kegunaan Helikopter Nuri yang mempunyai pelbagai fungsi. Rakan-rakan Ahli Parlimen sekalian, sebelum ini Kerajaan Malaysia ada mengeluarkan tender bagi pembelian 18 bot Fast Interceptor Craft (FIC) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dan juga pembelian 10 buah helikopter MD530G. SPRM ada menjalankan siasatan bagi menyiasat dakwaan telah berlaku penyelewengan dalam pembelian tersebut. Akan tetapi, selepas berlaku langkah Sheraton, perkara ini terus tenggelam dan ini menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat. Mohon beri penjelasan. Isu seterusnya adalah berkaitan pencen pesara tentera. Selain mengenai sistem pertahanan, isu yang kerap kali diketengahkan oleh saya di Dewan yang mulia ini adalah mengenai pencen para veteran dan juga anggota yang berhenti tanpa pencen. Saya mendapat penjelasan daripada mantan Yang Berhormat Menteri Pertahanan yang sekarang sudah pun naik pangkat menjadi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, bahawa isu ini dalam kajian. Sampai bila isu ini perlu dikaji? Sebelum anggota veteran bangkit bersuara, saya mohon isu ini dapat penyelesaian secepat mungkin. Saya juga ingin bertanya tentang elaun PJM yang telah disuarakan oleh mantan Yang Berhormat Menteri Pertahanan. Seterusnya, isu yang saya ingin disuarakan adalah berkaitan kerakyatan dan sijil kelahiran. Isu ini menjadi satu perkara yang sukar untuk diselesaikan di negara kita. Semasa Kerajaan Pakatan Harapan, isu ini dapat perhatian yang teliti tetapi kini isu ini seperti, “masuk telinga kanan keluar telinga kiri”. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, bahawa seramai 75,269 permohonan telah dibuat bagi permohonan kewarganegaraan tetapi hanya 13,940 permohonan sahaja diluluskan. Saya bersetuju bahawa kerakyatan Malaysia tidak boleh diberi secara mudah tetapi kerajaan melakukan penambahan baik SOP ini adalah untuk memastikan permohonan tidak perlu menunggu untuk satu jangka masa yang panjang. Kerajaan kena jelas bahawa ramai rakyat Malaysia tidak dapat kerja kerana kesukaran mendapat sijil kelahiran walaupun mereka lahir di Malaysia dan kerakyatan, dengan kemudahan pendaftaran ini akan meningkatkan bilangan buruh di pasaran buruh
dan ini dapat mengurangkan penggantungan kerajaan kepada pendatang tanpa izin (PATI) dalam pasaran pekerja Malaysia. Pada waktu yang sama, saya ingin mengesahkan kerajaan untuk menegakkan tindakan tegas kepada ibu bapa yang gagal mendaftar anak mereka untuk mohon sijil kelahiran. Tindakan tegas yang boleh diambil adalah penjara enam bulan kepada mana- mana ibu bapa yang gagal mendaftar sijil kelahiran dalam masa tiga tahun selepas kelahiran anak ini.
Ini akan menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan pendaftaran sijil kelahiran bagi memastikan masa depan anak-anak terjamin dan terpelihara. Isu keempat, melibatkan pembelajaran dan pembukaan sekolah. Pandemik telah membuka mata kita semua bahawa negara ini mempunyai kelompangan yang besar terutamanya melibatkan pembelajaran secara atas talian terutamanya pelajar-pelajar sekolah luar bandar menghadapi kesukaran dalam pembelajaran disebabkan kemiskinan digital. Maka menjadi soalan saya kepada kerajaan, apakah dasar yang kerajaan lakukan dalam menyelesaikan isu ini? Janji sebanyak 150,000 buah lap-top masih tinggal sekadar janji. Janji masih menjadi Menteri Kewangan. Saya telah membaca satu luahan beberapa orang guru di Berita Harian tentang kesukaran yang dihadapi oleh mereka dengan PdPR. Mereka masih menggunakan format tradisional walaupun zaman telah berubah, dengan pembelajaran perlu dilakukan secara atas talian, ia realiti sebenar yang berlaku. Apa yang merisaukan saya adalah pandemik ini akan membesarkan lagi jurang pembelajaran hingga pelajar dari keluarga kurang berkemampuan terus ketinggalan jika perubahan tidak dilakukan.
Yang Berhormat sedikit sahaja berkenaan dengan laptop. Saya juga ingin tangan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan, mengapakah dalam 150,000 buah laptop yang telah diumumkan tiada satu unit pun yang telah diedarkan, mengapa? Takkan kerajaan ini tidak ada duit? Sudah lebih kurang satu tahun setengah anak-anak kita belajar di rumah. Mengapakah ia tidak diedarkan? Satu pun tidak diedarkan. Bolehkah Yang Berhormat Menteri Pendidikan memberi penjelasan? Mana Menteri Pendidikan? Pendidikan anak-anak kita tidak diutamakan, mana beliau? Sebanyak 150,000 laptop. Takkan Ahli-ahli Yang Berhormat di sebelah sana pun tidak ingin bertanya? Tidak boleh bahas di sini tidak mengapa. Sekurang-kurangnya tegurlah Menteri Pendidikan. Tuan Yang di-Pertua yang saya hormati, saya minta Tuan Yang di-Pertua tolonglah nasihatkan Menteri Pendidikan. Satu unit pun tidak diedarkan sehingga sekarang. Sebanyak 150,000, mana pergi?
Okey, masukkan dalam hujahan saya. Selain itu, saya berhujah tentang langkah yang ingin dilakukan oleh kerajaan untuk membuka sekolah. Kerajaan perlu belajar daripada kesilapan apabila kerajaan tergesa- gesa membuka sekolah sehingga menyebabkan penyebaran COVID-19 di sekolah berlaku. Pembukaan sekolah ini perlu disertakan polisi dan arahan yang jelas agar memudahkan kepada pihak sekolah dalam pengurusan pembukaan sekolah ini nanti. Tambahan lagi, saya ingin bertanya tentang bilangan sekolah Tamil yang kini beroperasi di tapak milik bukan kerajaan. Apakah tindakan dan rancangan kerajaan untuk menjadikan tapak ini milik kerajaan bagi mengelakkan dari isu tuntutan tanah seperti masa yang lalu ke atas Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Ular, Kulim Kedah baru-baru ini. Walaupun Kerajaan Pusat telah menyerahkan tanggungjawab kepada kerajaan negeri, namun isu ini tidak diambil serius. Saya mohon pihak kerajaan agar menyelaraskan isu ini secepat mungkin.
Yang Berhormat, sila rumuskan.
Sikit sahaja, dekat hendak habis. Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan yang mulia. Terdapat keperluan untuk semua perkara yang disuarakan oleh saya diambil serius dan memastikan setiap polisi atau langkah yang dibuat oleh kerajaan akan memberi manfaat secara maksimum kepada rakyat Malaysia. Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun. Dari Padang Serai turun ke Parlimen, Laksanakan tanggungjawab untuk Malaysia, Ketidakstabilan politik sedang melanda, Kebajikan rakyat keutamaan. Saya sokong Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat padang Serai. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Tanjong Manis, dua belas minit.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Makan kelupis sidaun palas, Tanjong Manis tampil berbahas. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana diberi peluang dan ruang kepada saya untuk turut berucap bagi membahaskan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Perasmian Persidangan Parlimen Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas ini. Sehubungan dengan itu, saya menjunjung kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menyentuh pelbagai isu dan permasalahan rakyat di negara kita. Tuanku dalam titahnya menyentuh berkenaan meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan mengambil pendekatan yang menyeluruh meliputi penjagaan kesihatan, pembangunan ekonomi, modal insan dan infrastruktur agar dapat mengurangkan jurang pembangunan di antara negeri-negeri di seluruh Malaysia. Kecaknaan baginda terhadap rakyat harus menjadi tunjang perjuangan kita sebagai wakil rakyat Keluarga Malaysia di kawasan masing-masing. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob kerana telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada seluruh Ahli Jemaah Menteri yang telah dipilih untuk membantu beliau demi menerajui keselamatan, kesihatan, kesejahteraan dan pembangunan seluruh rakyat Malaysia sebagai satu Keluarga Malaysia. Saya juga ingin menzahirkan sekalung penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin, bekas Perdana Menteri Malaysia Kelapan dan semua Ahli Jemaah Menteri sebelum ini atas jasa khidmat bakti, kasih sayang semua yang telah memimpin negara dalam keadaan yang penuh cabaran pandemik COVID-19 yang pertama kali dalam sejarah negara ini. Pada kesempatan ini juga, tahniah saya ucapkan atas pelantikan terbaharu Yang Berhormat Pagoh sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang amat tepat bagi meneruskan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara. Saya juga ingin menghulurkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan negara ataupun frontliners dengan izin, terutamanya warga perkhidmatan kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, Agensi Pengurusan Bencana, Angkatan
Pertahanan Awam, agensi-agensi lain kerajaan dan semua para sukarelawan awam di seluruh peringkat dan daerah dalam menangani serangan wabak COVID-19. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengurusan dan kakitangan CIDB dan kumpulan syarikat di bawah CIDB di seluruh Malaysia kerana telah mempertaruhkan keselamatan diri dalam memastikan pematuhan SOP dalam semua industri pembinaan di seluruh Malaysia. Baru-baru ini, CIDB telah melancarkan dan menerajui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus untuk sektor pembinaan di beberapa buah bandar utama di seluruh negara seperti di Kuala Lumpur, Shah Alam, di Kuantan, di Johor Bahru, di Pulau Pinang dan yang lain. Ini adalah demi menyahut keperluan syarikat-syarikat pembinaan supaya proses pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja pembinaan dapat dilakukan dengan kadar segera, supaya industri pembinaan dapat dimulakan dengan seberapa segera dan supaya kerajaan dapat meneruskan projek-projek pembinaan yang telah lama terkesan oleh pandemik COVID-19. Kepada semua frontliners ini, saya ingin merakamkan penghargaan dalam bentuk sebuah pantun. Bunga siantan bunga dahlia, Dipetik dara untuk jambangan, Jasa kalian amat mulia, Sepanjang hayat jadi sanjungan. [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg kerana telah berjaya mencapai kadar pemberian vaksin yang tinggi kepada rakyat negeri Sarawak yang berumur 18 tahun ke atas. Melalui pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh pelbagai agensi tempatan meskipun menghadapi pelbagai kesukaran dan cabaran daripada logistik dan pengangkutan. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Pusat untuk memulakan pemberian vaksin kepada golongan remaja dan pelajar yang berumur 16 tahun dan 17 tahun. Ini merupakan antara negeri yang terawal sekali memulakan pemberian vaksin kepada golongan tersebut. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin teruskan perbahasan ini dengan bercerita sedikit berkenaan dengan masalah dan kekurangan-kekurangan yang dihadapi sebahagian besar rakyat Sarawak terutamanya golongan yang bermastautin di kawasan luar bandar termasuklah rakyat khusus di kawasan Parlimen saya Tanjong Manis.
Infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya termasuk jambatan, elektrik, air dan telekomunikasi adalah amat diperlukan oleh rakyat di kawasan ini. Saya berharap agar pembangunan kemudahan asas ini dapat dipertingkatkan dan diperluaskan demi meningkatkan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia dan dapat mengurangkan jurang keselesaan kehidupan dalam kalangan penduduk bandar dan luar bandar. Seperti yang saya selalu sebut-sebut, mereka tidak meminta bulan dan bintang di langit. Mereka sekadar mahu merasa nikmat sebuah pembangunan. Apa yang saya maksudkan di sini adalah kawasan Parlimen Tanjong Manis adalah luas hampir sama dengan keluasan negeri Melaka. Akan tetapi, ada lagi kawasan yang mengalami kekurangan kemudahan asas yang sangat-sangat diperlukan demi kelangsungan kehidupan seharian. Mereka telah menunggu sekian lama untuk menikmati nikmat sebuah pembangunan daripada segi kemudahan asas. Namun, ada juga yang tidak berkesempatan. Bukannya Kerajaan Negeri Sarawak tidak berusaha untuk menyediakan ini semua. Namun, keluasan negeri Sarawak yang begitu besar hampir sama dengan Semenanjung telah menyukarkan usaha
ini untuk dilakukan dengan cepat. Ada kawasan yang terpaksa menunggu lama sebelum kemudahan dapat disediakan. Seperti dalam titah Yang di-Pertuan Agong, baginda berkeyakinan pembangunan dan taraf hidup rakyat akan terus meningkat serta jurang pembangunan antara wilayah dan negeri khususnya Sabah dan Sarawak akan dapat dirapatkan, insya- Allah. Bertepatan dengan pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025 pada minggu hadapan, titah baginda Yang di-Pertuan Agong juga menyentuh RMKe-12 ini bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar dan transformasi struktur untuk membawa pembangunan negara pada asas yang lebih kukuh dalam tempoh lima tahun yang akan datang bagi merealisasikan semangat Keluarga Malaysia dan mencapai matlamat Malaysia makmur, inklusif dan mampan. Dasar jangka sederhana dan panjang ini akan turut diperkenalkan bagi menangani isu-isu kesihatan, keselamatan, kemiskinan, kehilangan pekerjaan dan kelangsungan perniagaan di samping melonjakkan pertumbuhan ekonomi. Saya berharap perancangan RMKe-12 juga termasuk kawasan luar bandar seperti di Tanjong Manis sebab kami di Tanjong Manis adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, keempat-empat kemudahan asas yang dimaksudkan tadi masih tidak semuanya dapat dinikmati oleh kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di kawasan saya. Ada tempat yang ada jalan dan elektrik tetapi kurang daripada segi bekalan air terawat atau liputan telekomunikasi terutamanya di kawasan Pulau Bruit, Sungai Sian, Sare, Belawai, Jerijeh, Rajang dan Bandar Baharu Tanjong Manis. Ada tempat yang ada elektrik dan air tetapi tiada jalan dan lemah liputan telekomunikasi seperti di Paloh, Kedang, Berangan, Stalun, Teluk Gelam, Mupong, Semaring, Muara Payang dan Bukit Kinyau. Apa yang saya hendak sampaikan, apa yang saya hendak maksudkan tidak semua kawasan yang dapat menikmati kesemua kesudahan yang asas ini sedangkan ini adalah keperluan asas setiap rakyat. Saya berharap RMKe-12 ini akan dapat dirangka dan dirancang untuk mengatasi masalah ini supaya semua rakyat dapat menikmati sekurang-kurangnya semua kemudahan asas ini. Bukan sahaja di Tanjong Manis tetapi di seluruh kawasan di seluruh negara. Dari Perlis hingga ke Sabah. Saya berharap RMKe-12 ini tidak terlalu mementingkan pembangunan di kawasan bandar yang sudah agak maju berbanding dengan kawasan luar bandar yang masih kurang maju. Biarlah kita seperti kata pepatah, ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’. Tuan Yang di-Pertua, saya teruskan perbahasan ini dengan beberapa masalah yang ada di kawasan saya seperti yang berlaku baru-baru ini. Kebakaran hutan paya gambut di Kampung Sedi pada 29 Julai yang lalu diikuti dengan kebakaran ranap sebuah masjid di Kampung Semop pada 11 Ogos yang lalu telah memberi kesan yang amat besar pada penduduk di kawasan tersebut. Beberapa kejadian kebakaran ranap rumah panjang di Stalon juga pernah terjadi beberapa tahun sebelum itu. Ini menunjukkan keperluan untuk mewujudkan dan membina sebuah balai bomba di kawasan Pulau Bruit tidak dapat dinafikan lagi. Balai bomba yang terdekat dari pekan Daro dan Balai Bomba Tanjong Manis adalah agak jauh untuk sampai ke tempat kejadian dalam masa yang sepatutnya. Oleh yang demikian, sekali lagi saya memohon supaya pihak KPKT dapat menyegerakan pembinaan sebuah balai bomba di Pulau Bruit. Dalam masa yang sama saya juga memohon supaya semua kampung dan rumah panjang yang jauh dari balai bomba disediakan dengan alat-alat pemadam api seperti pam air, hos dan alat pemadan api yang lain iaitu fire extinguisher sebagai langkah awal memadam kebakaran. Tuan Yang di-Pertua, keselamatan perlu diutamakan dalam kehidupan kita sehari-hari. Kejadian jenayah dan penyalahgunaan najis dadah semakin berleluasa dan kedua-dua perkara ini saling berkait. Kehadiran pihak berkuasa penguat kuasa keselamatan seperti pihak polis boleh menjadi pencegah kepada perlakuan jahat atau jenayah di sebuah komuniti. Sebagai contoh ada satu kes penyalahgunaan dadah pada 1 Julai yang lepas dan kes kecurian transformer pada 13 Ogos yang lalu di Pulau Bruit. Saya memohon
kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dapat membina sebuah balai polis kecil di kawasan strategik di Pulau Bruit untuk tujuan pencegahan ini. Balai polis ini nanti akan memberi perkhidmatan kepada lebih kurang 10 ribu penduduk di Pulau Bruit dan ramai lagi penduduk yang berdekatan. Kerajaan Negeri Sarawak sedia berbincang untuk memperuntukkan sebidang tanah di kawasan Semop untuk tujuan penempatan balai polis yang saya pohon ini. Sebuah balai polis yang baharu juga perlu dibina di Kampung Belawai dan bandar Bintangor kerana bangunan yang sedia ada telah agak usang dan kapasiti perkhidmatannya sudah menjadi terhad untuk memenuhi keperluan Kampung Belawai dan bandar Bintangor dan Daerah Meradong secara amnya. Bagi saya dua minit, Tuan Yang di-Pertua.
Seminit.
Kesihatan adalah kekayaan yang sangat penting untuk semua rakyat kita. Badan yang sihat, otak menjadi cergas dan untuk menjana usaha gigih dan kemudiannya menghasilkan kekayaan materialistik demi memajukan diri, keluarga dan negara. Kelewatan mendapat rawatan apabila sakit melanda boleh membawa kepada kesengsaraan, kesakitan ataupun kematian. Kawasan Tanjong Manis memerlukan lebih banyak klinik dibina kerana taburan jaran di antara kampung dan rumah panjang agak jauh. Kampung Selalang dan Kampung Semop sebagai contohnya memerlukan sebuah klinik disebabkan jarak kampung yang berdekatan adalah lebih jauh sekali. Saya juga ingin bertanya kepada Kementerian Kesihatan mengenai status pembinaan klinik di Kampung Semop yang telah banyak kali ditangguhkan atas alasan kekurangan bajet untuk membinanya. Saya ingin bertanya, dalam jawapan yang lepas oleh Yang Berhormat Menteri yang lepas pernah dikatakan bahawa projek tersebut telah ditender dan mungkin akan dilakukan pembinaannya tidak lama lagi. Saya ingin bertanya mengenai status projek tersebut. Jadi, Tuan Yang di-Pertua, disebabkan kesuntukan masa, saya terpaksa menggulung perbahasan ini. Sebagai kata penutup, secara realitinya, Sarawak adalah sebuah negeri yang begitu besar. Maka, sudah tentunya keperluannya juga besar. Peruntukkan Kerajaan Persekutuan sangat diperlukan untuk menjana pembangunan mampan yang mampu memberi kesejahteraan kepada keluarga Malaysia di Sarawak demi mencapai matlamat Malaysia makmur, inklusif dan mampan seperti titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kementerian-kementerian di Sarawak akan tetap berusaha untuk menyediakan kemudahan asas melalui dana kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat. Saya memohon Kerajaan Pusat terus membantu kerajaan negeri dengan memberi peruntukan tambahan untuk membina menaik taraf kemudahan-kemudahan asas di negeri kesayangan kami. Akhir sekali, saya mohon menyokong titah diraja Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Kalau kita menggunakan 12 minit seorang, maka saya rasa kita boleh habis Yang Berhormat Segambut, Yang Berhormat Kemaman, Yang Berhormat Balik Pulau, Yang Berhormat Julau, Yang Berhormat Seri Aman, Yang Berhormat Dungun, Yang Berhormat Kota Melaka, Yang Berhormat Kota Samarahan dan Yang Berhormat Shah Alam. Saya rasa lah kalau 12 minit. Jadi, saya jemput Yang Berhormat Segambut sekarang.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Segambut mahu membahaskan isu SOP yang mengelirukan dan saman melangit tingginya. Baru-baru ini Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein mengakui bahawa rangkaian SOP sedia ada mengundang pelbagai kekeliruan.
Beliau telah membuat satu poster Kuartet Menteri COVID-19 memperkemaskan SOP PPN sedia ada. Sebanyak 181 SOP akan dikurangkan kepada 10 SOP sahaja. Yang peliknya Kuartet Menteri ini mempunyai wajah empat orang Menteri yang tidak lain, tidak bukan, semuanya Menteri Perikatan Nasional dalam kabinet Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin. Kini mereka juga orang yang sama dalam Kabinet sekarang. Pengakuan bahawa 181 SOP ini mengelirukan rakyat, sememangnya mengelirukan semua kerana kesemua rangkaian SOP sebelum ini dibuat oleh mantan Menteri Kanan iaitu Perdana Menteri kita sekarang. Ini semua adalah sandiwara politik. Yang buat 181 SOP adalah mereka dan yang hendak menghapuskan 171 SOP ini juga adalah orang yang sama. Masalah utama kemudaratan SOP yang mengelirukan adalah ianya membuka ruang kepada penguat kuasa untuk membuat tafsiran mereka sendiri. Tahukah anda terdapat pelbagai pasukan penguat kuasa yang mempunyai tafsiran mereka sendiri, menjadikan rakyat takut untuk membuka premis perniagaan walaupun perniagaan mereka teruk terjejas? Sekarang ini ada penguat kuasa MITI, polis, PBT, di Kuala Lumpur DBKL dan KKM. Grey areas dengan izin will always open the door for abuse of power and corruption. Selagi SOP dan birokrasi menyusahkan orang, selagi itulah kerajaan akan gagal mendidik rakyat cara untuk melawan COVID-19 dengan efektif. Kalau kita mahu masuk ambang fasa endemik, bantulah rakyat memahami COVID-19, melawan COVID-19 dengan SOP yang berkesan dan bukan hanya pandai saman rakyat. Berkenaan dengan penyediaan draf RUU 355, saya ingin mendapatkan pengesahan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, adakah betul wakil rakyat daripada MCA, MIC, GPS serta parti-parti dari Sabah memberikan sokongan kepada Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, sudah mengambil maklum dan mengetahui akan perkara ini. Apakah pendirian mereka? Segambut juga mahu buka semula semua kaunter perkhidmatan kerajaan. Sepanjang PKP pelbagai perkhidmatan kaunter kerajaan telah terjejas. Rakyat diminta untuk membuat temu janji bagi permohonan mereka, namun ini bukan satu perkara yang mudah. Ada juga perkhidmatan asas seperti MySejahtera, helpdesk yang tidak mudah diakses oleh penduduk jika mereka mempunyai masalah dengan sijil vaksin mereka. Semua ini memerlukan hotline dan pegawai yang boleh mereka hubungi dan bukan melalui e-mail sahaja. There must be a person they can speak to dengan izin. Saya juga ingin mencadangkan MyTravelPass ini dimansuhkan. Semua kaunter kerajaan kembali beroperasi dengan kapasiti biasa. Era pemulihan tidak akan berkesan jika sistem kerajaan tidak pulih kepada operasi biasa. Terlalu banyak business bergantung kepada permit dan kebenaran kerajaan. Seterusnya kuasa Kementerian Dalam Negeri. Kuasa ini mesti dipantau dengan mekanisme semak dan imbang yang betul. Segambut berpendapat pada masa ini terlalu banyak kuasa discretionary powers, dengan izin iaitu kuasa budi bicara diberikan kepada Menteri Dalam Negeri, kuasa mutlak mendaftarkan parti politik dan kuasa mutlak pemberian kewarganegaraan. Ini sampai mahkamah sudah putuskan, kerajaan masih mahu mencabar dan kuasa mutlak dalam penentuan syarat-syarat MM2H. Yang saya paling khuatiri adalah penentuan permohonan secara case-by-case basis. Kuasa mutlak seperti ini senang terjadinya salah guna kuasa dan mesti disemak oleh Parlimen. Kementerian Wilayah Persekutuan, rayuan DBKL berkenaan Taman Rimba Kiara. Saya mahu dijawab di Parlimen ini perbelanjaan duit pembayar cukai yang diguna untuk menentang rakyat. Saya mengecam tindakan DBKL yang mahu membuat rayuan ke atas keputusan yang diperolehi oleh penduduk Kuala Lumpur di Mahkamah Rayuan berkenaan kedua-dua kes Taman Rimba Kiara dan Tiara Titiwangsa. Pada bulan Mac 2019, Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan satu bantahan pendengaran awam oleh DBKL untuk projek pembangunan berkepadatan tinggi di Taman
Tiara Titiwangsa adalah terbatal dan tidak sah. Dalam bulan Januari tahun ini Mahkamah Rayuan membatalkan perintah pembangunan yang dikeluarkan oleh DBKL untuk membangunkan Taman Rimba Kiara. Kedua-dua kemenangan ini amat bermakna kepada warga Kuala Lumpur. Jadi saya menggesa DBKL segera mendedahkan jumlah perbelanjaan yang telah digunakan untuk menentang penduduk hingga ke Mahkamah Persekutuan, legal fees dengan izin. Menggigit tangan yang memberi anda makan, langsung tidak mencerminkan semangat keluarga Malaysia dan Kerajaan Prihatin seperti yang dilaungkan. Duit taksiran (assessment tax) digunakan untuk melawan rakyat sendiri. Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang menyeluruh untuk kawasan rizab Melayu Penchala-Segambut perlu disediakan dengan penglibatan rundingan bersama penduduk dan orang awam serta pemegang taruh atau kumpulan yang mempunyai kepentingan awam bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan akan lebih terancang, sesuai dengan keperluan penduduk setempat termasuk penambahbaikan infrastruktur sedia ada. Saya tidak mahu melihat ciri-ciri tradisi kampung Melayu hilang di Kuala Lumpur. Berderet rumah-rumah kampung tiba-tuba bangunan kondo naik sebelah mereka. Bila hujan datang, air lumpur pun berlumuran. Segambut mahu DBKL menyegerakan penyediaan RKK untuk Kampung Sungai Penchala dan kawasan hijau di belakang Jalan Kiara 5 dan Jalan Kiara 7. Keperluan untuk membina sebuah lagi sekolah jenis kebangsaan Cina. Pejabat saya telah menerima banyak rayuan daripada penduduk di kawasan Parlimen Segambut pada setiap tahun mengenai anak-anak mereka yang ditempatkan di SJK(C) yang berbeza berbanding sekolah yang dimohon kerana di Segambut kini hanya ada dua buah SJK(C). Berdasarkan kepadatan penduduk dan keperluan yang semakin meningkat, saya memohon pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meluluskan satu lagi SJK(C) di kawasan Parlimen Segambut yang berdekatan dengan Taman Bukit Maluri, Bandar Manjalara, Desa Park City, Taman Sri Sinar dan Taman Sri Bintang. Saya juga tahu terdapat tapak sekolah yang telah diserahkan oleh pemaju untuk tujuan pembinaan sekolah. Untuk rekod, ini bukan isu kaum. Bilangan murid berbangsa bukan Cina di SJK(C) Khai Chee juga semakin bertambah. Data terkini terdapat 133 orang dengan pecahan Melayu seramai 45 orang, India 43 orang, Bumiputera Sabah 9 orang, Bumiputera Sarawak 6 orang dan lain-lain 30 orang. Di SJK(C) Kepong 3, terdapat 43 orang murid bukan berbangsa Cina. Ini bermaksud keperluan sudah bertambah. Saya pohon perkara ini diteliti dan disegerakan. Pembinaan Klinik Kesihatan di Segambut. Klinik kesihatan yang paling hampir dengan penduduk Segambut ialah Klinik Kesihatan Jinjang yang terletak di kawasan Parlimen Kepong. Kesesakan pesakit di Klinik Kesihatan Jinjang juga amat kritikal. Baru- baru ini Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Segambut telah ditukar kepada Klinik Kesihatan Segambut. Namun ruang dan infrastruktur sedia ada tidak mencukupi untuk menyediakan perkhidmatan yang lengkap. Saya telah menulis surat pada 10 September 2021 kepada DBKL dan Pejabat Tanah untuk memberikan kelulusan khas penggunaan tapak tanah kerajaan di sebelahnya dan saya mahu ini disegerakan. Pembinaan sebuah klinik kesihatan yang baharu di kawasan Parlimen Segambut amatlah diperlukan. Terdapat satu tapak tanah di Bandar Manjalara yang telah digazetkan sebagai klinik kesihatan dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020. Tapak tersebut adalah di bawah hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan saya mohon disegerakan. Liputan media sepanjang mesyuarat Parlimen. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Speaker Dewan Rakyat mengenai senarai penyiar rasmi yang telah dikeluarkan. Bagaimanakah media-media ini dipilih? Bagaimana sebuah portal berita dalam talian online yang agak baharu seperti Malaysia Now boleh disenaraikan dan bukan portal lain seperti Free Malaysia Today, The Malaysian Inside dan The Malay Mail Online. Saya mahu mengetahui apakah asas dan alasan utama Dewan Rakyat menyenaraikan Portal Malaysia Now ini sedangkan terdapat lebih banyak lagi agensi dan pengamal media yang lain yang jauh telah lama beroperasi, lebih berpengaruh dan
mempunyai pengalaman, akan tetapi mereka dikecualikan. Saya mahu senarai ini diperluaskan dengan serta-merta supaya Parlimen berlaku adil kepada pengamal media. Ini juga penting untuk pastikan kebebasan media dijamin dan liputan media adil kepada Ahli-ahli Parlimen Pembangkang. Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 (NADMA). Saya telah menerima aduan bahawa bantuan one-off RM5000 diberikan kepada waris si mati yang meninggal dunia berkaitan jangkitan COVID-19 mengambil masa yang lama untuk diproses. Ada permohonan yang mengambil masa lebih daripada dua bulan untuk diproses dan diberikan maklum balas. Mengambil kira ini adalah bantuan khas pengurusan kematian, maka bantuan ini seharusnya diberikan dalam masa 24 jam atau 48 jam untuk memastikan keluarga yang terkesan menerima manfaat daripada program ini. Berapakah jumlah permohonan? Berapa banyak telah diproses dan telah ditolak, kes yang masih tertunggak, saya minta butiran. KPWKM, saya ingin mengetahui apakah status terkini penubuhan agensi kanak- kanak sejak respons terakhir Menteri KPWKM di Parlimen.
Saya mahu Kementerian Dalam Negeri segera menambah peruntukan untuk bahagian D11 Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak dan menambah tenaga kerja yang mempunyai pengalaman masuk mempertimbangkan pengambilan semula pegawai polis yang telah bersara semasa bertugas di bahagian D11 secara kontrak untuk menyelesaikan aduan kes-kes jenayah seksual yang melibatkan kanak- kanak akibat PKP. Saya juga ingin mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya Cawangan Khas PDRM atau Special Branch memberi tumpuan dan memanfaatkan sumber dan kepakaran polis kita untuk menangani kes-kes pedophile dalam negara kita berbanding kerja-kerja mengawasi ahli-ahli politik di Malaysia terutamanya ahli pembangkang. Special Branch should be going after the pedophiles, not the opposition members. Lihat sahaja bagaimana polis Australia yang berjaya membantu sehingga tertangkapnya pedophile yang aktif selama 14 tahun di Sarawak tetapi di luar pengawasan polis kita. Saya juga ingin membangkitkan berkaitan Bakul Makanan PERMAI. Kenapa langsung tidak kelihatan bakul ini dan tiada peruntukan bantuan makanan daripada kerajaan bagi kawasan-kawasan yang dikenakan PKPD? Bagaimanakah pembekal bakul makanan JKM dipilih walaupun darurat diisytiharkan waktu itu supaya ia telus? SPRM. Apakah langkah yang telah diambil oleh SPRM untuk memantau perbelanjaan perolehan darurat dalam tempoh lapan bulan sebelum ini? Segambut juga mahu menyarankan supaya SPRM mengambil langkah yang lebih proaktif dengan memberikan maklum balas terus kepada pengadu dan bukannya menunggu isu ini dimainkan di Parlimen. Sehingga hari ini laporan yang dibuat oleh saya dan Yang Berhormat Lembah Pantai pada 19 September 2019 mengenai Semantan elevated highway masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada SPRM. Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali SMS MKN. Saya menggesa MKN supaya tidak mensia-siakan sistem mesej ringkas SMS dengan menghantar pesanan yang retorik. Sudah jadi spam. MKN wajar menggunakan platform tersebut untuk menyampaikan maklumat yang diperlukan dan mendidik rakyat seperti apakah yang perlu dilakukan sekiranya ahli keluarga didapati positif COVID-19, tempoh kuarantin, bagaimana cara untuk melakukan penilaian COVID-19 CAC secara dalam talian dan sistem pengudaraan yang selamat dalam premis. Kandungan SMS tersebut langsung tidak memberitahu kita apa maklumat yang diperlukan dan hanya berbentuk propaganda SMS MKN dan ini membazirkan duit rakyat. Saya ingatkan selepas kerajaan ditukar, SMS akan berubah tetapi masih sama nadanya. Berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk pesanan SMS tersebut?
Saya telah mengira tahun lepas hingga tahun ini, sejumlah 317 jumlah SMS telah dihantar kepada semua rakyat Malaysia. Andaikan satu SMS 10 sen, kali 317 SMS, kali 20 juta penduduk kerana mungkin bukan semua ada handphone. Jumlahnya adalah lebih kurang RM600 juta. Jadi, saya minta kerajaan dedahkan perbelanjaan ini. Saya hendak syorkan supaya hentikan pembaziran dan kerajaan mesti hentikan spam rakyat. Dengan ini Segambut menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Yang di-Pertuan Agong. Sekian, terima kasih.
terima kasih Yang Berhormat Segambut. Seterusnya Yang Berhormat Kemaman. Silakan.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Pertama, saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua dan saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas dengan menyentuh pelbagai aspek demi keharmonian negara dan kesejahteraan rakyat jelata. Kebijaksanaan baginda dalam pengurusan pentadbiran negara dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan keprihatinan baginda demi menjaga kebajikan serta kesihatan rakyat jelata amat sesuai dengan istilah raja dan rakyat berpisah tiada. Semoga Allah SWT memberkati umur baginda Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Permaisuri. Tuan Yang di-Pertua, hari ini kita melihat rakyat menyaksikan naratif landskap politik negara yang berlaku sekali lagi dengan peralihan tampuk pemerintahan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan pada 20 Ogos yang lalu. Namun begitu, pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional dengan masa yang singkat sebenarnya membuahkan hasil walaupun dalam keadaan yang begitu mencabar dan genting. Perkara ini dapat melihat kewibawaan dan keprihatinan Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin daripada segi pengurusan kerajaan dalam berdepan dengan penularan COVID-19 dan langkah-langkah yang diambil bagi menangani impak ekonomi ke atas rakyat akibat pandemik ini. Saya percaya pelantikan Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah tepat dengan pengalaman yang ada kepada beliau dalam mengurus pandemik COVID-19. Dakwaan kerajaan lalu gagal adalah tidak tepat sama sekali. Saya berharap semua ahli politik tanpa mengira ideologi politik untuk berganding bahu dan bekerjasama membantu kerajaan dalam mensejahterakan semula kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi negara ekoran pandemik COVID-19 ini. Ia sepertimana nasihat baginda Yang di-Pertuan Agong supaya semua ahli politik melaksanakan demokrasi bermusyawarah dalam semua aspek masalah yang berlaku tidak menjadikan rakyat sebagai taruhan dalam mencapai sesuatu agenda. Tuan Yang di-Pertua, pemulihan kesihatan dan vaksinasi, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan dipersetujui majoriti pakar kesihatan menyatakan bahawa COVID-19 berkemungkinan besar menjadi pandemik, menjadi endemik iaitu kekal serta menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia sebagaimana penyakit yang lain selesema dan sebagainya. Saya menyahut baik langkah kerajaan dalam melaksanakan peralihan fasa endemik COVID-19 yang dijangkakan bermula hujung Oktober ini. Selain Malaysia, Indonesia juga bersedia untuk melaksanakan peralihan fasa endemik selepas berjaya mengawal penularan COVID-19 pada gelombang kedua apabila kes seharian dan jumlah kematian negara terbabit dilihat berlaku penurunan sejak pertengahan Ogos yang lalu. Banyak indikator dan garis panduan pelbagai sudut yang perlu dinilai, diteliti dan diperincikan untuk jangka masa yang panjang oleh kerajaan sebelum beralih ke fasa endemik.
Justeru itu, terdapat beberapa persoalan yang saya ingin ajukan dan kemukakan. Pertamanya, apakah persediaan kerajaan dalam menghadapi peralihan fasa endemik tidak lama lagi? Saya berharap strategi baru perlu dirangka dengan jelas dan terperinci sebelum negara memasuki fasa endemik bagi mengekang COVID-19 dengan kes dan kematian harian yang masih meningkat dan rakyat juga perlu jelas peranan yang perlu dilakukan apabila negara secara rasmi memasuki fasa endemik nanti. Hal ini adalah kerana ada segelintir masyarakat yang tidak yakin dengan persediaan yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk ke fasa endemik selepas negara mencapai imuniti kelompok iaitu 80 peratus populasi dewasa lengkap di vaksinasi. Kedua, sejauh manakah penyelarasan dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dirangka dalam fasa endemik memandangkan sebelum ini SOP sering berubah sehingga mengundang kekeliruan kepada rakyat. Saya berharap SOP yang akan dilaksanakan nanti perlu relevan dan seimbang antara nyawa dan sumber pendapatan rakyat dalam menguruskan kehidupan harian. Ketiga, sejauh manakah kajian dan penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh pihak kementerian dan agensi yang terlibat berkaitan dos ketiga ataupun dos penggalak (booster shot) iaitulah saya menyambut baik usaha pihak kerajaan yang akan melaksanakan pemberian dos yang ketiga vaksin COVID-19 yang dijangka bermula awal Oktober ini seperti yang telah ada di UK, Amerika Syarikat dan lain-lain negara yang telah melaksanakan dos penggalak.
Saya melihat perkara ini merupakan suatu keperluan terutama golongan yang berisiko tinggi, iaitu para petugas barisan di hadapan, warga emas yang mempunyai penyakit kronik dan golongan yang memiliki imunisasi yang lemah. Namun begitu, saya ingin jelaskan daripada pihak kementerian yang berkaitan, sejauh manakah kajian yang telah dilaksanakan terhadap keberkesanan dos ketiga terutama golongan yang berisiko dalam berhadapan dengan varian baharu penularan pandemik COVID-19 ini? Saya juga ingin bertanya, adakah dos ketiga ini berpotensi membawa risiko dan kesan sampingan yang lebih besar pada masa yang akan datang? Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah mengumumkan mengenai pemberian suntikan vaksin kepada murid sekolah serentak dengan pembukaan sekolah yang dijadualkan pada 3 Oktober ini, iaitu secara berperingkat. Namun, ekoran pengumuman ini menimbulkan pelbagai persoalan yang nyata yang masih menjadi tanda tanya terutama mengenai perancangan jangka pendek kerajaan khususnya untuk mengelakkan daripada wabak COVID-19 kembali menular khususnya dalam komuniti sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan bahawa kementerian tidak meletakkan satu milestone dengan izin, dengan jelas tentang vaksinasi melibatkan murid sekolah. Murid yang berisiko tinggi diberikan keutamaan untuk divaksin berbanding murid dalam kategori risiko rendah. Tindakan ini jelas dan mudah difahami, namun apakah jaminan pihak kerajaan bahawa murid dalam kategori ataupun risiko rendah yang tidak divaksin tidak akan menjadi punca kepada penularan semula wabak ini dalam komuniti sekolah itu sendiri. Adakah pihak kementerian yakin sekiranya murid yang tidak mendapat vaksin dijangkiti COVID-19 tidak menjadi teruk sehingga ke tahap empat ataupun lima? Saya melihat kebimbangan segelintir ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah apabila institusi persekolahan dibuka adalah kewajarannya. Hal ini demikian kerana kita maklum bahawa COVID-19 ini apabila ia menjangkiti individu kesannya amatlah berbeza. Ada individu yang sihat bahkan tidak merasakan perbezaan pun apabila dijangkiti COVID- 19. Namun terdapat segelintir pula, sehingga terkorban nyawa disebabkan jangkitan COVID-19 ini. Oleh itu, saya ingin tekankan bahawa amatlah penting untuk pihak kementerian yang terlibat seharusnya memperjelaskan dari sudut SOP dengan teliti apabila murid-murid telah melangkah ke sekolah untuk sesi pendidikan secara bersemuka kelak. Nyawa dan kesihatan mereka tidak risikokan oleh ancaman COVID-19 ini. Terutamanya melibatkan golongan murid yang masih belum divaksinasikan. Dari sudut
perancangan vaksinasi murid juga haruslah jelas seperti perancangan vaksinasi golongan dewasa yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara. Hal ini untuk memudahkan semua pihak terutamanya pihak pentadbiran sekolah dan juga pihak ibu bapa dan membuat perancangan yang tepat dan sesuai dengan keadaan situasi semasa. Seterusnya antara kesihatan, isu penyedut oksigen. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya suka saya menyentuh isu penjualan dan penggunaan penyedut oksigen mudah alih atau tabung oksigen tambahan untuk kegunaan di rumah, terutama bagi pesakit COVID-19 dan pesakit asma. Penjualan alat tersebut dilihat mendapat sambutan yang tinggi sejak negara dilanda pandemik COVID-19 ini. Penyedut oksigen mudah alih ini dibeli sebagai langkah penyediaan awal sekiranya ahli keluarga yang positif COVID-19 memerlukan bantuan pernafasan dan kebanyakan orang awam membeli penyedut oksigen tersebut dalam kuantiti yang banyak. Selain farmasi, produk tersebut juga laris dijual dalam platform e-dagang seperti Shopee dengan harga yang lebih murah. Apa yang lebih membimbangkan adalah penggunaan produk tersebut yang tidak terkawal menyebabkan risiko yang serius kepada pesakit yang mengalami masalah kronik. Malah peralatan yang dijual dengan harga yang murah dalam talian juga tidak menjamin 100 peratus keselamatan penggunanya. Sehubungan itu, saya menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu garis panduan yang jelas kepada orang awam mengenai penjualan dan penggunaan penyedut oksigen mudah alih yang berada di pasaran bagi mengelakkan sebarang risiko terutamanya kematian pesakit rawatan di hospital. Saya ingin menekankan tiga perkara yang perlu diambil perhatian. Pertama, pihak kerajaan perlu memastikan semua peralatan penyedut oksigen mudah alih ini mendapat kelulusan dari KKM sebelum dijual di pasaran. Kedua, proses pemeriksaan makmal bagi menguji tahap keselamatan peralatan tersebut sebelum diguna oleh pesakit perlu dilaksanakan. Seterusnya yang ketiga, penggunaan penyedut oksigen mudah alih perlu disediakan secara manual dengan jelas dan detil oleh pengguna agar tidak disalahgunakan. Selain penyedut oksigen, tabung oksigen tambahan yang dijadualkan di pasaran digunakan di rumah oleh pesakit COVID-19 juga perlu dikawal penggunaannya kerana perlu memastikan hanya pegawai perubatan berdaftar sahaja yang dibenarkan mengeluarkan preskripsi penggunaannya seperti mana saranan oleh Majlis Perubatan Malaysia. Oleh itu, saya berharap pihak kerajaan dapat meneliti semula isu ini bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin. Akhir Tuan Yang di-Pertua, saya ingin sebut satu isu di Parlimen saya iaitu— berhubung di kesempatan ini, saya memohon pihak kerajaan khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya dapat membina sebuah dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam, Chukai, Kemaman. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah elit yang ada di Kemaman dan keputusan yang baik. Apa yang menjadi persoalannya, dewan tidak ada dan menjadikan satu masalah kepada para pelajar, pihak sekolah khususnya guru-guru untuk mengadakan program. Oleh itulah, isu ini pernah saya sebutkan dalam sidang Parlimen yang sebelum ini. Saya harap pihak kementerian dapat mengambil perhatian untuk dimasukkan dalam belanjawan yang akan datang ini, insya-Allah. Jadi saya ucapkan ribuan terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga khususnya kepada barisan hadapan dan para sukarelawan yang bekerja keras tanpa penat dan lelah berusaha untuk mengekang COVID-19. Semoga dikurniakan kesihatan yang baik dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Sekian, terima kasih. Saya menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Kemaman. Seterusnya Yang Berhormat Balik Pulau.
Terima kasih kepada Speaker atas laluan yang diberikan kepada Balik Pulau. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam hormat. Ke darat lembah si pucuk paku, Rimbun pepohon tersangkut pula, Merafak sembah Duli Tuanku, Patik bermohon bahas dimula. Boleh dikatakan bahawa sektor pelancongan ini adalah sektor pertama yang ditutup sebaik sahaja negara dilanda pandemik dan mungkin menjadi sektor terakhir yang akan dibuka sepenuhnya. Sejak dua tahun lalu, dunia pelancongan terus suram mengakibatkan tempiasnya bukan sekadar dirasai oleh syarikat penginapan dan perhotelan, malah penggiat seni, pameran, karnival, pementasan teater, MICE, sektor makanan, malah pusat spa dan kecantikan terus mengalami kerugian dan mula mencari jalan baharu bagi menyara kehidupan. Dahulunya pelancongan menyumbang 15 peratus KDNK negara dan menyara 3.5 juta orang pekerja. Itu dahulu. Tuan Yang di-Pertua, vaksinasi sedang pesat diagihkan kepada rakyat Malaysia dan di seluruh dunia. Namun, ia tidak memadai untuk memulihkan ekosistem pelancongan yang telah lumpuh selama hampir dua tahun. Pada tahun 2020, 71 buah syarikat pelancongan ditutup dan 95 peratus syarikat yang masih ada ketika ini tiada pendapatan. Saya quote Malaysia Tourism Council dalam data ini. Tambahan pula, apabila Malaysia tertinggal jauh ke belakang berbanding negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam. Malah terkeluar daripada 10 destinasi utama pilihan para pelancong di rantau Asia sebaik sahaja keadaan kembali pulih.
Maldives, pada asalnya tahun 2019, tiada dalam senarai 10 destinasi utama. Akan tetapi, kini tahun 2021, ia tersenarai kepada destinasi pilihan hasil daripada promosi 3V iaitu visit, vaccinate dan vacation yang kini menjadi tumpuan bagi pelancong asing. Kita asalnya menjadi pilihan utama bagi pelancong asing. Justeru, pelancongan domestik sahaja tidak mampu memberi kelangsungan kepada industri ini dan kita perlu dan masih perlu bergantung pada pelancong asing. Kita memerlukan sebuah rangka mempromosikan negara yang lebih agresif dengan menggunakan digital platform seperti TripAdvisor ataupun Expedia dan lebih strategik dalam mengembalikan keyakinan para pelancong untuk ke Malaysia dengan kerjasama agensi pelancongan dan syarikat penerbangan antarabangsa seperti Qatar Airways yang mempunyai lebih daripada 150 destinasi antarabangsa ataupun Turkish Airlines yang menghubungkan lebih 120 destinasi antarabangsa. Indonesia, umpamanya, giat mempromosi lokasi-lokasi yang telah mempunyai vaksinasi tertinggi seperti di Bali, Jakarta, Yogjakarta, Kalimantan dan Riau di bawah kempen Indonesia Care dalam menarik minat pelancong untuk ke negara mereka sebaik sahaja pintu sempadan dibuka. Jadi, mengekalkan pasaran pelancongan di peringkat antarabangsa amat penting demi jaminan kedatangan pelancong memandangkan industri ini merupakan satu sumber kukuh bagi memulihkan ekonomi negara. Kita tidak mungkin mampu menyelamatkan ekonomi sekiranya tiada sebarang persediaan daripada segi mempromosikan Malaysia yang lebih agresif daripada pihak kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, pembukaan pusat rekreasi dan taman awam. Pakatan Harapan menyambut baik kelonggaran demi kelonggaran dalam SOP Majlis Keselamatan Negara dalam membantu mengaktifkan semula industri pelancongan terutama sekali dengan pelancaran gelembung pelancongan Langkawi pada 16 September 2021 yang lalu.
Saya ingin menarik perhatian Tuan Yang di-Pertua kepada beberapa isu berbangkit yang berlaku di peringkat pelaksanaan SOP di negeri-negeri lain yang telah memasuki Fasa 2 yang mana pelancongan dalam negeri telah dibenarkan. Mengambil contoh Kuala Lumpur, para pelancong yang tidak memilih untuk merentas negeri ke Langkawi sudah pastinya akan mencari lokasi-lokasi berdekatan yang boleh dikunjungi bersama keluarga seperti Taman Burung Kuala Lumpur, Bird Park KL, Taman Rama- rama, Zoo Negara dan Aquaria. Walau bagaimanapun, saya dimaklumkan terdapat beberapa isu selain SOP mengenai bidang kuasa di pihak kementerian sama ada KeTSA, MOTAC, KWP dan pihak berkuasa tempatan daripada segi pengoperasian tempat-tempat ini yang menyebabkan mereka tidak lagi dapat beroperasi sehingga sekarang. Lokasi-lokasi ini, saya percaya, telah bersedia dengan sistem kemasukan pengunjung yang teratur dan mampu menjaga SOP dengan sangat baik, jika taman- taman awam telah dibenarkan beroperasi. Jadi, tiada isu tempat-tempat tarikan pelancongan yang berkonsepkan taman-taman haiwan di seluruh negara dengan pengudaraan mereka yang lebih terbuka berbanding pusat-pusat beli-belah. Ini tidak boleh beroperasi serta-merta. Penjanaan ekonomi dari pusat-pusat pelancongan di seluruh Malaysia perlu digerakkan dengan segera kerana limpahan atau spillover effect, dengan izin, daripada sektor pelancongan adalah salah satu penyumbang terbesar pendapatan negara ini. Tuan Yang di-Pertua, pandemik juga meninggalkan kesan hebat terhadap ekosistem kebudayaan. Data daripada UNESCO menunjukkan hanya 31 peratus lokasi world heritage di Asia Pasifik masih beroperasi, manakala 10 peratus telah ditutup dan 59 peratus ditutup secara separa. Melihat kepada situasi di Malaysia, saya telah mengadakan temu bual bersama pengusaha-pengusaha kraf dan batik secara atas talian pada bulan lepas. Ramai dalam kalangan pengusaha batik, ahli-ahli kraf kita yang bergerak secara individu. Mereka terpaksa bertukar arah demi kelangsungan hidup. Jika tiada sebarang tindakan daripada kerajaan dalam merancakkan ekosistem seni kebudayaan yang mampu sampai kepada mereka yang bergerak secara individu terutamanya, masihkah wujud batik Malaysia 10 tahun akan datang? Seterusnya, jika kita lihat pelajar-pelajar yang kini dalam keadaan pandemik dan hanya meneruskan pembelajaran melalui proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) setelah sekian lama, kementerian seharusnya menggunakan peluang ini dengan mewujudkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi seperti Muzium Negara, Arkib Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mahupun Istana Budaya untuk mempelbagaikan lagi bahan pembelajaran buat pelajar kita. Misalnya, bagi subjek Sejarah, kita boleh bekerjasama dengan Muzium Negara mempamerkan artifak-artifak sejarah yang berkaitan dengan modul pembelajaran supaya ia lebih menarik minat pelajar. Saya sendiri pernah berkesempatan untuk melihat khazanah koleksi surat Francis Light atau dikenali sebagai Light Letters Collection yang telah pun disediakan secara digital di Universiti Sains Malaysia (USM). Setelah lapan tahun berunding, akhirnya USM merupakan satu-satunya universiti tempatan di dunia yang diberi hak tunggal oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London untuk mengkaji 1,200 koleksi digital surat Francis Light yang merangkumi 11 jilid daripada tahun 1768 hingga 1794. Apa yang menarik di sini, kesemuanya surat ini walaupun daripada Francis Light sendiri, ia ditulis dalam tulisan jawi. So, kandungan surat-surat tersebut melibatkan surat- menyurat antara pembesar Melayu, golongan kenamaan, isteri-isteri orang kenamaan dan juga rakan kongsi pada ketika itu. Inilah bahan sejarah tentang Pulau Pinang dan Kepulauan Melayu yang jarang kita tahu yang boleh memberi impak besar kepada sejarah kita dan pengkaji sejarah. Orang yang tahu Francis Light ini adalah seorang British yang mungkin sosok beliau kelihatan seperti pemerintah Inggeris walhal beliau secara
hariannya adalah seperti warga tempatan berkain pelikat dan berbaju Melayu. Hal-hal ini yang kita jarang ketengahkan yang kita banggakan dalam masyarakat kita. Sumber-sumber sejarah ini menarik untuk kita selitkan dalam pembelajaran pelajar. Tidak ramai pelajar yang berkesempatan untuk berkunjung ke Muzium Negara, Arkib Negara. Jadi, kementerian seharusnya menggunakan peluang ini untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bersama agensi-agensi ini.
Yang Berhormat Balik Pulau, laluan sikit.
Yang Berhormat Kubang Pasu, silakan. Cepat ya.
Terima kasih Yang Berhormat Balik Pulau. Saya ingin tahu, dalam penulisan yang dibuat oleh Francis Light itu, ada tidak dia sebut tentang― selalu kita difahamkan dalam sejarah ini, yang membuka Pulau Pinang ialah Francis Light. Akan tetapi, ada penulisan-penulisan lain yang menunjukkan bahawa ketika beliau mula sampai ke Pulau Pinang itu, sebenarnya dia disambut oleh orang-orang Melayu yang berasal dari Sumatera yang datang menetap di Batu Uban. Jadi, ada tidak ditulis dalam manuskrip yang telah Yang Berhormat Balik Pulau sebutkan tadi itu? Terima kasih.
Kalau nak sebut, panjang ini, makan masa sejam, sejarah Pulau Pinang ini. Jadi, saya syorkan Yang Berhormat Kubang Pasu supaya membaca buku, Dari Tanjung Penaga ke George Town tulisan Prof. Mahani Musa menyebut bahawa orang Melayu telah sampai ke Pulau Pinang sebelum Francis Light datang ke Pulau Pinang lagi. Itu secara simple lah. Saya harap kita boleh teruskan discourse tentang sejarah awal Pulau Pinang ya. Saya teruskan ya, Tuan Yang di-Pertua. Ada satu minit lagi. Seterusnya, saya juga menyentuh isu penukaran nama Politeknik Balik Pulau― Menteri pun ada di sini― oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang tidak sewajarnya berlaku oleh sebab nama sedia ada menjadi simbolik kepada lokasi politeknik dan kebanggaan warga setempat. Jadi, proses penukaran nama institusi pendidikan ini juga seharusnya melibatkan warga setempat dalam sebarang pembuatan keputusan dalam mengambil kira sensitiviti warga tempatan. Jadi, saya harap Menteri dapat meneliti semula penukaran nama Politeknik Balik Pulau itu kepada nama yang lain. Saya ada satu minit lagi. Kalau boleh saya hendak sentuh tentang isu kawasan. Isu kawasan ialah tentang sistem perparitan yang tidak sempurna yang masih mengikat kita pada masalah banjir terutamanya di Taman Nelayan, Taman Perda, Taman Manggis, Kampung Suluk, Kampung Masjid dalam Parlimen Balik Pulau kerana kerap mengalami isu banjir yang akhirnya penduduk akan mengalami kerosakan harta benda.
Saya harap perlu ada pemantauan yang lebih keras terhadap pemaju hartanah dan pihak kontraktor agar mematuhi Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MASMA). Serta saya harap supaya pihak kementerian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyegerakan Program Rancangan Tebatan Banjir (RTB) supaya apa yang dijanjikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) baru-baru ini supaya dapat dilaksanakan secepat mungkin. Saya juga mengharapkan supaya pihak berkuasa mempercepatkan proses kerja- kerja penambahbaikan atau penambahan menara komunikasi di kawasan Balik Pulau kerana pelajar-pelajar terpaksa keluar dari rumah mereka untuk mencari talian internet untuk mengikuti kelas PdPR. Jadi, saya berharap pihak berkuasa menyegerakan jalur lebar ataupun menara telekomunikasi di kawasan Parlimen saya. Dengan itu, sekian terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Balik Pulau.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon maaf. Sebelum pembahas yang seterusnya, saya cuma ingin mendapatkan petua Tuan Yang di-Pertua. Saya sedia menunggu sehingga pukul lapan tetapi saya ada kematian dalam keluarga saya, di mana pakcik saya telah meninggal. Jadi, saya baru difahamkan dan saya terpaksa bergegas balik ke Pulau Pinang. Di atas satu perkara yang telah saya bangkitkan iaitu di bawah Aturan 18(2) berkenaan dengan penyiasatan kes arwah Muhammad Adib Mohd Kassim, di mana saya telah menghantar satu usul. Saya difahamkan oleh Setiausaha Dewan bahawa usul itu telah diterima. Saya cuma ingin mendapatkan petua daripada Tuan Yang di-Pertua kerana saya berpandangan bahawa perkara itu ialah perkara berkepentingan awam yang perlu disegerakan. Apakah petua Tuan Yang di-Pertua tentang perkara itu?
Terima kasih Yang Berhormat Jelutong. Pertama sekali, takziah atas kehilangan Yang Berhormat Jelutong. Mengenai usul itu, saya sebenarnya baru sahaja menandatangani surat itu tadi. Saya rasa belum diberi pada Yang Berhormat Jelutong tetapi saya boleh terangkan sekarang. Usul itu terpaksa saya tolak. Pertamanya, kerana ia tidak menyatakan kenapa ia perlu disegerakan, nombor satu. Nombor dua, usul itu adalah di bawah 18(1) iaitu untuk merundingkan sesuatu perkara. Akan tetapi malangnya usul Yang Berhormat ialah untuk menggesa Kabinet untuk menyuruh Menteri menjawab satu soalan. Jadi, kalau kita hendak membuat satu gesaan itu, terpaksalah Dewan membuat satu ketetapan. Maka, 18(1) tidak boleh digunakan untuk membuat ketetapan kerana di bawah 18(1) cuma untuk merundingkan perkara tersebut. Satu lagi, saya rasa prosedur yang Yang Berhormat sepatutnya gunakan ialah untuk membuat soalan untuk jawab lisan kepada pihak kementerian kerana pihak Yang Berhormat sebenarnya mengehendaki jawapan daripada Menteri. Jadi, saya rasa itu prosedur yang sepatutnya diturut oleh Yang Berhormat, bukannya 18(1).
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas penjelasan itu. Saya berterima kasih. Cuma saya membuat usul ini kerana untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, seperti yang telah saya nyatakan tadi saya menerima keputusan Tuan Yang di-Pertua dengan hati yang terbuka. Cuma saya merayu kepada Tuan Yang di-Pertua, kalau boleh mengangkat perkara ini kepada perhatian Menteri Dalam Negeri. Oleh kerana Tuan Yang di-Pertua tahu sebagai seorang peguam, baru-baru ini dalam kes kematian seorang pengawal keselamatan, Thava Segayam yang berlaku di Ipoh. Seorang suspek yang asalnya dituduh di bawah seksyen 326 telah ditukar pertuduhan ke-302. Maka, timbullah pelbagai polemik di luar, kenapa kah kalau kes Thava Segayam kerajaan ini boleh bertindak dengan begitu segera untuk menuduh? Saya sebagai Ahli Parlimen pembangkang juga ingin mengetahui kenapakah kes arwah Muhammad Adib, seorang anggota bomba yang terkorban, tidak ada sebarang penjelasan? Akan tetapi saya terima penjelasan Tuan Yang di-Pertua. Adakah Tuan Yang di-Pertua juga maklum bahawa bila saya membangkitkan perkara ini pada sesi Dewan yang lama, Menteri Dalam Negeri telah menyatakan di Dewan yang mulia ini bahawa sebanyak 12 atau 13 orang suspek akan dituduh atas kesalahan merusuh. Jadi, sehingga sekarang kita pun tidak tahu apakah yang berlaku. Walau bagaimanapun, saya akan memasukkan soalan Ministers' Question Time (MQT) untuk mendapatkan penjelasan ataupun membangkitkannya dalam perbahasan saya, Tuan Yang di-Pertua.
Saya juga akan membangkitkan perkara itu dengan Yang Berhormat Menteri.
Ya, kerana kita ingin tahu kerana kita tidak mahu perkara ini menjadi polemik di luar dan macam-macam persepsi ditimbulkan.
Baiklah.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Julau.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera yang telah dipilih secara kolektif dan majoriti oleh anggota Ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat untuk diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke- 9. Tidak dilupakan jasa besar yang telah dicurahkan oleh Mantan Perdana Malaysia Menteri Ke-8 iaitu Ahli Parlimen Pagoh yang mula mengemudi negara ketika satu dunia sedang bergelut dalam melawan krisis kesihatan wabak COVID-19. Walaupun hanya menjadi ketua kerajaan untuk tempoh seketika tetapi jasa Ahli Parlimen Pagoh dalam memberikan pelbagai bantuan dan inisiatif tunai untuk melestarikan kehidupan rakyat amatlah besar. Sumbangannya dan impaknya masih terasa sehingga ke hari ini. Tuan Yang di-Pertua, antara inti pati ucapan saya pada perbahasan kali ini adalah saya ingin menyentuh mengenai industri penanam lada. Seperti mana kita tahu, lada adalah emas hitam terpenting yang diusahakan pekebun-pekebun kecil di Sarawak dan jumlah keperluan pengeluaran lada ialah sebanyak 98 peratus daripadanya adalah datang dari Sarawak. Di Sarawak, industri penanaman lada telah banyak mewujudkan peluang pertanian, pekerjaan dan perniagaan buat pekebun dan usahawan kecil dalam meraih pendapatan. Justeru itu Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bertanyakan kepada kementerian berkenaan. Adakah pihak kementerian bersedia untuk menarik lebih ramai pemain industri dalam dan luar negara bagi merancakkan lagi penanaman lada, khususnya di negeri Sarawak? Ini adalah kerana apabila kita mengambil contoh kajian kes di Vietnam, mereka ini antara pengeluar lada terbesar di dunia kerana mereka amat menggalakkan penyertaan pemain-pemain industri dalam dan luar negara dalam merancakkan penanaman lada di negara mereka. Tidak kira sama ada harga komoditi ini naik ataupun turun, mereka akan terus kekal mengusahakan tanaman ini supaya pengeluaran dapat diteruskan dan dapat dijual di pasaran tempatan serta mengeksportnya ke negara-negara luar. Strategi yang mereka usahakan adalah mudah iaitu mereka membuka tanah- tanah mereka kepada pelabur asing dan dalam hanya jangka masa 20 tahun sahaja mereka sudah mampu mengeluarkan daripada 200,000 sehingga 300,000 tan metrik setahun. Sepuluh kali ganda dari Malaysia walaupun Malaysia sudah pun menanam lada selama 200 tahun. Walaupun pelaburnya dari dana asing tetapi manfaatnya ia mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan. Kedua, saya ingin mendapatkan penjelasan lanjut oleh pihak kementerian. Adakah pihak kementerian mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk meningkatkan mutu pentadbiran dan penguat kuasaan dalam industri lada ini? Pertamanya, saya ingin memberikan cadangan agar pihak kementerian dapat mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Sarawak dalam mengemas kini pangkalan data pekebun-pekebun kecil lada. Ini adalah kerana database Malaysian Pepper Board (MPB) yang ada sekarang tidak dikemaskinikan dan data yang dikeluarkan adalah tidak tepat.
Seperti contoh, ada dalam kalangan mereka pekebun kecil lada sudah meninggal. Ada yang sudah berhenti dan ada yang beralih arah daripada penanam lada kepada tanaman yang lain. Akan tetapi mereka tidak ditolak dari database. Impaknya, ini akan
berlakunya ketidakcekapan dalam pengurusan memberi bantuan seperti baja dan racun kerana bantuan-bantuan ini sampai kepada pihak yang salah. Selanjutnya, antara hujah penting yang ingin saya utarakan kepada pihak kementerian MPIC adalah adakah pihak kementerian sudah mula pengawasan dan penguatkuasaan pasaran industri lada? Ini kerana di Sarawak berlakunya kes campuran lada Sarawak dengan lada dari luar negara dan lada ini dijual atas nama lada Sarawak dengan harga yang amat tinggi sedangkan kualitinya telah terjejas. Terakhir sekali Tuan Yang di-Pertua, seperti kita semua sedia maklum pihak kerajaan akan membentangkan RMKe-12 tidak lama lagi di dalam Dewan yang mulia ini. Sudah pastinya agenda pemerkasaan yang kita harapkan dalam agenda Rancangan Malaysia Kedua Belas yang bakal dibentangkan kelak oleh kerajaan semestinya mengimpikan transformasi menyeluruh dan saya mengharapkan agar sektor perladangan dapat diberikan nafas baharu untuk menerapkan kaedah-kaedah pertanian digital atau pertanian moden. Berikutan negara-negara lain sedang rancak membangunkan industri selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0, negara kita juga harus bergerak seiringan dan tidak boleh ketinggalan. Maka saya berharap agar untuk sasaran tempoh jangka masa yang panjang ini, pihak kerajaan dapat menerapkan bagi konsep pertanian digital atau pertanian moden dalam melatih petani dan pekebun kita berintegrasi dengan kecanggihan internet of things (IOT), dengan izin, digitalisasi dan penggunaan social media yang meluas agar hasil keluaran mereka dapat memenuhi permintaan yang tinggi. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh mengenai isu infrastruktur dan fasiliti yang masih berlarutan menjadi masalah tanpa jalan penyelesaian yang tuntas. Pertamanya, saya ingin menyentuh berkenaan akses internet khususnya di kawasan saya di Julau. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, akses internet di kawasan saya penduduk-penduduk yang tinggal di rumah panjang, tidak mendapat akses internet ini untuk tujuan pembelajaran anak-anak mereka. Menurut tinjauan saya, hampir 50 buah rumah panjang di enam kawasan seperti di Ulu Kota, Ulu Wak, Dayu, Genega, Ulu Pedanum, Merurun, Ensiring dan Ulu Sugai tidak langsung liputan rangkaian mahupun capaian internet. Paling menyayatkan hati adalah pada bulan Ogos yang lepas, terdapat seorang pelajar berusia 17 tahun mati dilanggar lari di kawasan jalan Julau-Nanga Entabai kerana sedang berusaha untuk mencari liputan internet. Saya selaku wakil rakyat Julau dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam takziah buat keluarga mendiang, Kamalia Fran George di atas tragedi yang menimpa. Lebih menyedihkan lagi, ada yang terpaksa membahayakan diri dengan meredah masuk ke dalam kawasan hutan dan bukit bagi mendapatkan liputan internet dan ini amat membahayakan keselamatan mereka. Tuan Yang di-Pertua, isu fasiliti yang saya ingin bangkitkan seterusnya di sini adalah mengenai isu air bersih yang saya ingin utarakan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, di kawasan Parlimen Julau hampir separuh penduduk rumah panjang di sini adalah pekebun kecil kelapa sawit. Di kawasan ini, penduduk-penduduk hanya bergantung kepada air sungai sebagai sumber dan air sungai di kawasan ini tidak selamat untuk digunakan kerana kualiti airnya tidak bersih ekoran pencemaran dan tidak selamat untuk digunakan. Justeru itu, saya meminta agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dapat membuat sesuatu dengan mengatur bekalan air bersih di kawasan Parlimen Julau khususnya di kawasan-kawasan rumah panjang sepanjang Jalan Lasi, Jalan Julau- Entabai, Jalan Nanga Buku, Jalan Nunggang, Jalan Tugong dan Jalan Ulu Wak. Bagi memastikan penduduk-penduduk setempat mendapat manfaat air bersih yang selamat untuk mereka gunakan dalam kehidupan seharian. Di dalam kesempatan ini, saya ingin menzahirkan rasa syukur kepada mantan Menteri KPKT yang sebelum ini telah meluluskan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Kategori E yang dilengkapi dengan peralatan asas seperti balai-balai bomba lain dan dikawal selia oleh seorang pegawai bomba dari pusat. Pembinaan balai bomba
ini dilihat amat penting untuk memberikan perkhidmatan menyelamat sekiranya berlaku insiden-insiden kecemasan dan saya berharap Yang Berhormat Menteri KPKT yang baharu dapat meneruskan inisiatif ini di Daerah Julau secepat mungkin. Terakhir, saya ingin memohon kementerian MEDAC untuk menambah satu lagi mesin ATM Bank Rakyat di pekan Julau dan menyediakan kelengkapan mesin ATM di Pakan. Hal ini kerana mesin ATM yang sedia ada tidak mencukupi, sering rosak kerana tidak diselenggara dengan baik dan selalu kekurangan wang. Situasi sebegini menyukarkan penduduk tempatan kerana ada antara mereka yang terpaksa berulang alik sejauh sehingga satu jam perjalanan semata-mata untuk proses transaksi wang mereka. Akhir kata Tuan Yang di-Pertua, saya berharap agar agenda RMKe-12 yang bakal dibentangkan kelak dalam Dewan yang mulia ini oleh pihak kerajaan dapat merangkumi dasar yang inklusif agar martabat wanita, anak muda dan golongan orang asal untuk menjadi keutamaan dan kerjasama pembangkang amat dialu-alukan supaya iltizam yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk melihat Keluarga Malaysia dapat dicapai dalam merealisasikan matlamat ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya Yang Berhormat Sri Aman. Saya ingin habiskan sehingga Yang Berhormat Sri Aman, Yang Berhormat Dungun, Yang Berhormat Kota Melaka, Yang Berhormat Kota Samarahan dan Yang Berhormat Tampin. Jadi saya minta semua selesaikan dalam masa 12 minit ya. Yang Berhormat Sri Aman, silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan saya peluang untuk menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan rasmi Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas baru-baru ini. Saya juga turut mengucapkan berbanyak terima kasih ke atas nasihat dan teguran Yang di-Pertuan Agong untuk kita mengurangkan politicking dan memberi kerjasama dan fokus untuk membendung penularan penyakit COVID-19. Terima kasih juga kepada semua terutamanya kepada barisan hadapan atau frontliners seperti pasukan kesihatan, polis, bomba, RTM, tentera dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk memerangi wabak ini. Tanggungjawab dan peranan yang berat dalam usaha ini akan dilakar dalam sejarah pada masa hadapan. Semoga ianya diteruskan sehinggalah impian kita untuk mencapai kembali kehidupan normal kita seperti biasa sebelum kita dilanda dengan teruk wabak COVID-19 ini. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh perkara berkaitan dengan perkara MA63.
Tadi Yang Berhormat Sepanggar telah menyebut sekiranya progress report tidak dihantar kepada UN, kalau itu benar, saya menyeru dan menyokong pertanyaan beliau untuk Putrajaya menghantar report dengan segera. Ramai juga Ahli Yang Berhormat yang berhujah seperti Yang Berhormat Semporna dan Yang Berhormat Pulai mengenai perkara ini. Saya menyokong penuh saranan mereka agar MA63 mesti dikembalikan kepada asalnya oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Kesembilan. Pada April 2019, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Ketujuh telah pun membentangkan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan Sarawak dan Sabah kepada status asalnya sebagai rakan kongsi atau equal partners, dengan izin. Pindaan ini kalau diluluskan pada masa itu, akan mengembalikan status Sarawak dan Sabah sebagai sebuah region atau wilayah dan bukannya dikenali sebagai sebuah negeri sama taraf dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, pada pendapat saya, salah satu langkah atau satu contoh dalam Perjanjian MA63 iaitu 20-Point Agreement untuk Sabah, 18-Point Agreement untuk Sarawak adalah untuk menambah bilangan kerusi Dewan Rakyat kepada nisbah satu pertiga masing-masing. Ini dikira pada dasarnya Sarawak patut ditambah dari 31 kerusi Parlimen kepada sekurangnya-kurangnya 70 kerusi. Begitu juga dengan Sabah, perlu ditambah kepada 70 kerusi daripada 25 yang ada sekarang. Rasionalnya pada hemat saya ialah mana-mana pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan sewenang-wenangnya tanpa undi tambahan dari Sarawak dan Sabah untuk mencukupkan kepada dua pertiga. Tuan Yang di-Pertua, pada awal tahun ini juga, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Kelapan telah melawat negeri Sarawak dan beliau telah dipetik oleh media sosial dan memanggil Sarawak dan Sabah sebagai wilayah atau region. Ini sebagai permulaan adalah amat baik dan perlu disanjungi sebagai langkah pertama untuk mengembalikan hak-hak Sarawak dan Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian MA63. Akan tetapi malangnya beliau tidak kesampaian untuk melihat perkara ini menjadi nyata kerana telah didesak untuk meletak jawatan pada 16 Ogos 2021. Justeru itu, saya harap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Kesembilan dapat mengambil iktibar tentang usaha mantan Perdana Menteri Kelapan untuk terus berusaha merealisasikan perkara ini dalam MA63 ini. Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini satu MoU telah ditandatangani bersama oleh pihak kerajaan dan Pakatan Harapan. Walaupun parti saya iaitu Parti Sarawak Bersatu tidak terlibat dengan MoU itu, kita berpendapat pada dasarnya bersetuju dengan langkah yang akan diambil yang melibatkan MA63. Perkara ini perlu disegerakan dan diambil keutamaan oleh kerajaan. Jangan ia jadi sekadar retorik politik dan tidak dilaksanakan dalam masa terdekat. Saya juga ingin merayu dan menyeru kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Kesembilan untuk melibatkan semua stakeholders dalam perbincangan berhubung masalah MA63. Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah perlu ikut serta dalam segala jawatankuasa yang dibentuk oleh kerajaan dalam mengatasi isu ini. Jangan terlalu banyak jawatankuasa ditubuhkan, nanti boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti ungkapan, “too many cooks will spoil the broth” dengan izin, Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak quote satu lagi ungkapan yang pernah dikatakan oleh mendiang Tun Jugah Anak Barieng semasa mendiang terlibat dalam rundingan pembentukan Malaysia pada awal 60-an. Mendiang berkata, “Jangan-jangan Malaysia macam tebu. Manis pada permulaannya tetapi tawar pada penghujungnya”. Saya dapati perkara ini ada kebenarannya, Tuan Yang di-Pertua. Kita melihat banyak perkara seperti yang termaktub dalam MA63 telah terhakis sekian lama seperti Akta Pembangunan Petroleum atau PDA 1974. Kita telah beberapa kali memohon agar royalti hasil minyak petroleum diberi atau ditingkatkan pada siling 20 peratus dan bukannya pada kadar lima peratus seperti sekarang ini. Sekiranya ia ditunaikan, Sarawak akan mendapat lebih banyak dana untuk membangunkan kawasan pedalaman yang sangat mundur. Satu lagi isu tentang MA63 iaitu Territorial Sea Act (TSA) atau Akta Laut 2012. Pada dasarnya, akta ini telah menghakis Exclusive Economic Zone (EEZ) Sarawak dan Sabah seperti apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Kota Belud sebentar tadi di mana pelantar benua telah diturunkan dari 12 batu nautika kepada tiga batu nautika dari pantai Sarawak dan Sabah. Ini menyebabkan Sarawak dan Sabah kerugian besar daripada segi kekurangan sumber dan juga rezeki. Peluang untuk melombong dan mencari minyak dan juga pembangunan industri perikanan terbatas kerana terhadnya keluasan EEZ. Tuan Yang di-Pertua, saya menyeru sekali lagi agar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Kesembilan mengambil maklum perkara ini dan juga saya amat mengharapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) yang berasal dari Sarawak dapat sama-sama mengutamakan hak-hak Sarawak dan Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian MA63.
Tuan Yang di-Pertua, saya beralih kepada masalah isu di kawasan Parlimen Seri Aman. Pertama, saya hendak sentuh ialah bekalan air luar bandar. Saya sering menerima aduan bahawa bekalan air bersih di Pekan Pantu dan Balai Ringin belum sampai ke tahap yang sepenuhnya. Sering berlaku tekanan air yang rendah dan tak cukup untuk menyalurkan bekalan air ke kampung dan rumah panjang. Ini bertambah teruk lagi semasa musim kemarau dan saya mohon KPLB untuk mengkaji, menaikkan taraf kedua- dua loji berkenaan untuk menyempurnakan air di kawasan tersebut. Kedua, saya pernah juga mohon naik taraf semua jalan tanah atau jalan balak di kawasan luar bandar Parlimen Seri Aman. Ini dapat memudahkan rantaian jalan raya ditingkatkan ke taraf R3 dan memudahkan penduduk dan petani luar bandar untuk membawa hasil-hasil pertanian mereka mengikut keselesaan harian mereka. Ketiga ialah mengenai pembangunan jalur lebar Internet. Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh perkara ini berkaitan dengan pembangunan jalur lebar di kawasan Parlimen Seri Aman. Kita amat ketinggalan jauh daripada segi kemudahan ini dan menyeru Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mengkaji dan meluluskan pembinaan menara-menara komunikasi di kawasan pedalaman secepat mungkin agar ramai murid atau orang awam boleh belajar bila ada kemudahan tersebut. Kemudahan ini termasuk kemudahan telefon juga adalah satu masalah besar di kawasan pedalaman. Banyak kampung tidak boleh dihubungi dengan telefon kerana kekurangan arus telefon. Menara-menara tak mencukupi dan tidak juga ada talian untuk mereka memakai telefon semasa dalam kawasan ataupun semasa kecemasan. Kita dah beralih ke peringkat taraf 5G atau 4G. Adakah kita mahu melihat penduduk pedalaman terpaksa naik ke bukit atau gunung untuk mendapatkan talian telefon atau line dan juga internet? Saya mohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menjawab perkara ini dengan secepat mungkin. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Seri Aman. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Dungun, Silakan.
Bismillahi Rahmani Rahim. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] yang bermaksud, “Tolong menolonglah kamu dalam perkara-perkara kebaikan dan kebajikan dan takwa”. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi keizinan kepada saya untuk sama-sama membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong yang banyak menyentuh isu-isu kebajikan rakyat di kala negara sedang berusaha keluar daripada pandemik COVID-19 ini.
Seri Paduka Baginda dalam sebahagian titahnya menegaskan kepada pentadbiran kerajaan sekarang ini untuk bekerja keras bagi memastikan segala inisiatif yang digerakkan bagi membantu rakyat jelata yang dalam kesusahan pada waktu ini. Tuan Yang di-Pertua, semenjak berlakunya pandemik COVID-19, pelbagai negara telah melakukan langkah-langkah dan inisiatif bagi memastikan kelangsungan ekonomi negara masing-masing dapat diteruskan. Negara kita tidak terkecuali dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga melalui siri-siri pakej rangsangan ekonomi yang telah diperkenalkan semenjak tahun lepas. Oleh itu, di antara inisiatif yang telah diberikan ialah moratorium terhadap pinjaman kepada bank oleh rakyat selama enam bulan pada tahun lepas. Ini menunjukkan kecaknaan kerajaan dalam memahami kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat. Tuan Yang di-Pertua, dalam kesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk mencadangkan beberapa inisiatif lagi bagi memastikan kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi terus dipertingkatkan. Inisiatif-inisiatif ini dicadangkan setelah mengambil kira situasi realiti semasa yang dialami oleh rakyat pada waktu sekarang ini.
Sektor ekonomi – Kerajaan telah memperkenalkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi iaitu PEMULIH bagi memastikan ekonomi negara kita mempunyai daya tahan (economic resilience) dengan izin Tuan Yang di-Pertua dan pada masa yang sama isu-isu kebajikan rakyat masih terjaga dengan baik. Saya mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Kewangan baru-baru ini yang sudi menunaikan permintaan rakyat untuk mengecualikan kadar faedah bagi pinjaman bank yang telah diluluskan yang telah diberi moratorium. Pun begitu, dalam sektor ini, saya mencadangkan beberapa perkara lagi sebagai penambahbaikan terhadap PEMULIH dan PEMERKASA mengambil kira pelbagai faktor semasa. Antara cadangan yang ingin saya utarakan adalah kepada Kementerian Kewangan memohon pengurangan kadar faedah atau keuntungan dan pemberian moratorium kepada pinjaman daripada institusi-institusi yang bukan bank seperti syarikat- syarikat kredit lain. Kedua, pengurangan kadar faedah atau keuntungan kad kredit dicadangkan diturunkan kepada empat hingga lima peratus. Ketiga, pemberian moratorium selama tiga bulan bagi golongan yang tidak layak menerima moratorium. Contohnya, seperti mereka yang tergolong dalam kumpulan T20 serta tidak mampu membayar hutang dalam tempoh 90 hari kerana terganggu punca pendapatan akibat COVID-19. Ini bagi mengelakkan lebih ramai yang terkesan diisytiharkan muflis. Keempat, skim MySalam turut diperluaskan kepada golongan sasar yang memerlukan terutamanya yang berada di luar daripada golongan berpendapatan rendah iaitu B40, khususnya golongan yang berpendapatan sederhana (M40). Seterusnya kepada sektor perkhidmatan kesihatan. Saya mencadangkan supaya diwujudkan satu skuad perkhidmatan membantu pesakit atau bekas pesakit COVID-19 secara peribadi. Contohnya, kunjungan kakitangan perubatan kepada pesakit dan pengangkutan membawa pesakit ke klinik atau hospital untuk menerima rawatan dan menjalani kehidupan yang dikhususkan kepada pesakit yang miskin dan juga tidak mempunyai waris dalam memenuhi kehidupan mereka. Skuad perkhidmatan ini boleh digabungjalinkan dengan mana-mana kementerian tetapi dipimpin oleh Kementerian Kesihatan termasuklah juga sama ada GLC, sumbangan CSR mereka ataupun daripada NGO-NGO supaya ia memberi satu ruang kepada pesakit- pesakit COVID-19 selepas daripada mereka menjalani rawatan terus untuk mereka berada dalam perkhidmatan yang boleh ditawarkan untuk kepentingan mereka. Kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Penambahbaikan projek Program Prihatin Kasih daripada RM100 sebulan kepada RM200 sebulan dan tempoh dilanjutkan sehingga enam bulan melibatkan 300 ribu keluarga miskin. Kementerian Pengajian Tinggi, dipohon pengurangan yuran di IPTA sebanyak 50 peratus bagi sesi pengajian tahun 2021 dan tahun 2022 serta bantuan yuran RM1,000 kepada pelajar di IPTS bagi sesi pengajian tahun 2021 dan tahun 2022. Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Agama – Saya pohon supaya pemberian bantuan one-off kepada guru-guru maahad tahfiz, sekolah agama rakyat, institusi-institusi pondok dan prasekolah yang terjejas serta bantuan per kapita pelajar. Kementerian Wilayah Persekutuan – Bantuan segera diberi kepada anak-anak gelandangan yang berlegar di sekitar bandar Kuala Lumpur dari aspek kebajikan, pendidikan dan kesihatan untuk memastikan mereka mempunyai masa depan seperti kanak-kanak yang lain. Kementerian Dalam Negeri, dipohonkan pengecualian atau diskaun bayaran pembaharuan pasport diberikan kepada pemegang pasport yang ingin memperbaharui pasport mengikut tempoh yang dipohon bagi mengurangkan beban pemegang pasport- pasport tersebut. Sejak daripada Mac 2020, sempadan negara ditutup sedangkan berlaku halangan perjalanan tetapi tempoh sah laku pasport masih dipegang oleh pemegang pasport. Ini supaya hak pemegang pasport diberikan pertimbangan. Seterusnya, saya ingin untuk mendapat maklum tentang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), tentang Tabung COVID-19 yang diselaraskan oleh agensi ini.
Saya ingin untuk mendapat maklum berapa banyak syarikat-syarikat dan individu- individu yang telah menghulurkan wang ke dalam tabung ini sejak tahun lepas? Seterusnya, berapa ramai daripada individu-individu yang tergolong dari kalangan orang kaya negara kerana dengan kestabilan politik mereka membina empayar kekayaan, tetapi berapakah sumbangan untuk kepentingan rakyat ketika rakyat melalui suasana pandemik COVID-19 ini dan yang akhir kepada Kementerian Pengangkutan. Saya ingin menarik perhatian di mana projek laluan kereta api Pantai Timur ECRL yang sedang dalam pembinaan. Saya dimaklumkan bahawa sebagai kontraktor projek China Communications Construction Company (CCCC) dalam projek ini pernah memaklumkan yang mana mereka akan menggunakan hanya 30 peratus sahaja kuota pekerja asing dalam menyiapkan projek ini. Manakala 70 peratus lagi kuota akan diberi kepada tenaga kerja tempatan bagi memberi peluang kepada rakyat negara kita mendapatkan pekerjaan dan pengalaman dalam projek yang mega ini. Saya ingin memohon penjelasan daripada Kementerian Pengangkutan, adakah pengisian sebanyak 70 peratus kuota pekerja tempatan ini telah di isi sebagaimana yang dijanjikan oleh kontraktor ini. Maka dengan itu, saya pohon mendapat jawapan bagi kepentingan rakyat tempatan dalam negara kita. Saya mohon menyokong, terima kasih Tuan Yang di-Pertua, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam, terima kasih Yang Berhormat Dungun seterusnya Yang Berhormat Kota Melaka. Silakan.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana mengizinkan saya mengambil bahagian Usul Menjunjung Kasih ke Atas Titah Di Raja Yang di-Pertuan Agong. Tuan Yang di-Pertua, Puan Noor Azlini yang tinggal di Jalan Tun Ali di kawasan Parlimen Kota Melaka berumur 38 tahun dan bekerja di sebuah hotel telah hilang kerja lebih daripada enam bulan kerana hotel tutup. Bulan lepas Puan Noor menghubungi saya kerana bekalan makanan terputus. Sewaktu Puan Noor menghubungi saya, dia sudah tiga hari hanya sekadar makan bubur kosong sahaja. Begitu juga dengan Encik Ajis yang tinggal di Jalan Bendahara Melaka. Sebelum itu bekerja sebagai pembantu di gerai makanan. Gerai makanan tutup kerana MCO, lebih daripada enam bulan tiada kerja, tiada pendapatan. Ada tiga orang anak semuanya masih belajar. Kadang-kadang, satu hari hanya makan satu kali sahaja, sehinggakan dia terpaksa menggantung bendera putih untuk minta pertolongan. Apabila saya tahu, saya bekejar ke bilik sewaan dia dan memberi sedikit bantuan kepadanya. Saya percaya ramai yang terpaksa menggantung bendera putih ini kerana mereka sengsara dalam hidup mereka akibat daripada pandemik COVID-19 ini. Akan tetapi agak malangnya ialah apabila mantan Perdana Menteri melihat mereka yang susah menggantung bendera putih, dia kata tidak perlu gantung bendera putih, gantung lah bendera biru. Ini satu kenyataan yang sungguh jijik yang harus kita kutuk dengan sekeras kerasnya. Ini menunjukkan mantan Perdana Menteri ini dia tidak tahu dan tidak sedar tentang kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat. Tuan Yang di-Pertua, saya akan gunakan masa yang suntuk ini untuk berkongsi dan membawa suara rakyat dalam Dewan yang mulia ini. Saya akan berkongsi kisah- kisah sebenar yang telah saya dapat tahu daripada pengalaman saya dalam beberapa bulan ini. Saya harap kerajaan boleh mengambil berat tentang masalah dan juga keperitan yang dihadapi oleh rakyat. Tuan Yang di-Pertua saya sambung, seorang uncle yang tinggal di Malim Jaya, namanya Uncle Tan masih lagi bekerja sungguh pun sudah tiba masa untuk bersara kerana sudah umur 58 tahun. Dia jual mee sup di satu kedai makan. Gerai dia juga
terpaksa ditutup kerana makanan yang disediakan oleh Uncle Tan ini tidak dapat dijual dan akhirnya dia mengalami kerugian. Dia memohon Bakul Makanan-PEMULIH, saya luluskan dan dia datang ke pejabat saya menerima Bakul Makanan tersebut. Waktu dia datang mengambil Bakul Makanan tersebut, dia tanya saya bolehkah dia memohon lagi bulan depan. Saya kata kepada dia bahawa saya akan bertanya kepada Menteri Kewangan kerana peruntukan rm300 ribu yang diberikan itu hanya sekadar cukup untuk saya bekalkan Bakul Makanan untuk bulan ini sahaja. Jadi, saya harap supaya Menteri Kewangan dapat jawab nanti. Tuan Yang di-Pertua, bagi saya sebenarnya Bakul Makanan ini bukannya penyelesaian jangka masa panjang kepada krisis ekonomi pada hari ini. Barangkali Menteri akan kata sekarang sektor ekonomi mungkin sudah buka semula, tetapi saya nak tekankan di sini bahawa suasana ekonomi di luar sana masih lagi lembap. Kuasa beli rakyat masih lagi lemah, sama ada rakyat tidak ada wang untuk belanja ataupun mereka tidak berani untuk belanja. Jadi, saya hendak tanya kepada Menteri, apakah strategi kerajaan untuk merangsang ekonomi negara kita dalam beberapa bulan yang kritikal ini. Tuan Yang di-Pertua daripada Malim Jaya sekarang saya pergi ke Masjid Tanah, Melaka. Keluarga Wong, dengan penuh ikhlas dan kesedihan, saya hendak ucapkan takziah. Ibu bapa keluarga ini umurnya 60 tahun dan dua-dua sudah bersara. Ada empat orang anak yang berumur 23 tahun, 25 tahun, 28 tahun dan 30 tahun. Kesemuanya dijangkiti COVID-19. Lima daripada enam ahli keluarga ini meninggal dunia semasa di ICU dan pada hari ini hanya tinggal seorang sahaja anak yang hidup tanpa keluarga. Nathrah intern saya Tuan Yang di-Pertua, tinggal di rumah pangsa. Apabila dia tahu jiran sebelahnya dijangkiti COVID-19, dia ambil inisiatif pergi ke CAC yang terdekat dan minta untuk buat saringan dengan seluruh ahli keluarganya. Sampai di sana, CAC minta dia balik dengan alasan kononnya dia tiada kontak rapat dan tiada simptom. Suruh dia balik. Tetapi saya hendak puji intern saya, Natrah. Dia ambil inisiatif pergi ke klinik swasta untuk buat saringan sendiri. Akhirnya, sah seluruh ahli keluarganya disahkan positif COVID-19 dan dia kuarantin diri di rumahnya. Akan tetapi bukan semuanya penduduk di rumah pangsa tersebut ada kesedaran sedemikian ataupun mereka tidak mampu hendak pergi ke klinik swasta untuk membuat saringan. Akhirnya, apa berlaku yang Tuan Yang di-Pertua? Lebih kurang 50 orang penduduk rumah pangsa tersebut dijangkiti COVID-19 dan akhirnya empat orang mati kerana COVID-19. Sepatutnya ini dapat dielakkan. Mereka tidak perlu mati jika saringan secara besar besaran dijalankan. Saya tidak salahkan kakitangan Kementerian Kesihatan. Ini bukan salah mereka, mereka hanya ikut arahan. Saya tidak puas hati, yang saya hendak kritik sekerasnya ialah DG Kementerian Kesihatan yang hanya degil dengan saringan bersasar sahaja, sedangkan kita sudah maklum supaya kita sepatutnya menjalankan saringan secara besar besaran untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini ini boleh berlaku lagi.
Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan kepada angka-angka yang kita lihat hari ini, barangkali kita mungkin ingat keadaan sekarang mungkin sudah bertambah baik kerana hampir 80 peratus populasi dewasa telah divaksinasikan. Akan tetapi, kita tidak boleh leka. Apa yang saya khuatir ialah outbreak mungkin tercetus lagi di mana saya lihat di beberapa negeri kadar penggunaan katil dan ICU masih melebihi 80 peratus tetapi kita sudah masuk ke fasa dua pemulihan. Jadi saya khuatir jika kita tidak berjaga-jaga sistem kesihatan akan runtuh lagi dan angka kematian mungkin akan meningkat semula. Oleh sebab salah seorang pakar perubatan yang terunggul daripada negara China, Profesor Chong Nang San ada mengatakan bahawa ramalannya ialah pada akhir Oktober ini Malaysia akan mengalami outbreak besar-besaran di mana dia jangka 10 orang warga Malaysia ada satu orang akan dijangkiti COVID-19. Jadi saya ingin menyeru kepada KKM supaya pastikan ada langkah persediaan awal sekarang. Tambahkan peruntukan dengan segera, jangan tunggu sampai hilang kawalan baru hendak mengambil tindakan.
Tuan Yang di-Pertua, sekolah akan dibuka semula pada bulan Oktober tetapi yang kita lihat banyak lagi sekolah-sekolah masih akan ditutup. Ini ertinya ramai lagi pelajar yang terpaksa di rumah mengikuti belajar secara online. Jadi bagi Encik Zaini yang tinggal di Taman Aneka, yang saya percaya ramai keluarga mempunyai masalah yang sama sepertinya. Di mana Encik Zaini ini adalah seorang anggota RELA yang sedang bertugas di PPV. Dia ada lapan orang anak semuanya masih belajar. Anak-anaknya hanya dapat mengikuti pelajaran selepas ibu bapa mereka balik daripada kerja menggunakan handphone yang ada pada ibu bapa mereka. Hanya dua handphone sahaja sedangkan dia ada lapan anak yang masih belajar. Cuba bayangkan anak sulung yang gunakan handphone, anak bongsu pula menangis di tepi kerana tidak dapat gunakan handphone untuk belajar secara online. Jadi apabila saya tahu masalahnya, saya bawa satu komputer terpakai yang masih boleh pakai untuk beliau. Saya bawa ke rumahnya, saya tolong dia pasang. Semasa saya pasang komputer tersebut, dia minta saya datang ke Parlimen tanya kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan, bilakah lap-top yang dijanji-janjikan itu? Kenapa belum sampai-sampai lagi. Jadi saya harap supaya Yang Berhormat Menteri Pendidikan dapat jawab soalan beliau. Tuan Yang di-Pertua, Puan Saraswati pula baru sahaja melahirkan bayi pada bulan Julai, sebelum itu dia sudah ada dua orang anak. Keluarga terjejas pendapatan menurun 80 peratus kerana MCO tidak dapat kerja. Oleh kerana tidak dapat kerja tiada pendapatan, tidak boleh bayar sewa. Apa berlaku Tuan Yang di-Pertua? Hari keenam bayi itu dilahirkan, keluarga tersebut dihalau keluar oleh tuan rumah. Dia tidak ada tempat pergi. Keluarga tersebut mana mereka pergi, pergi bermalam di pondok cuci kereta. Apabila saya dimaklumkan oleh penduduk di sana, saya kejar ke tempat sana saya carikan satu bilik sewa sementara untuk mereka. Tuan Yang di-Pertua, Puan Chin daripada Ujong Pasir pula umurnya 61 tahun warga emas, telefon saya menangis-nangis untuk setengah jam minta pertolongan bantuan kewangan. Oleh kerana tidak mampu hendak bayar sewa rumah, tidak mampu hendak bayar bil elektrik, bil air. Saya percaya ramai warga emas menghadapi masalah yang sama. Puan Samala daripada Limbongan pula, mungkin dia lebih bertuah. Dia dapat cari kerja baru, Tuan Yang di-Pertua. Akan tetapi apa yang malangnya berlaku kepada beliau, tuan rumahnya oleh kerana dia hutang sewa rumah tidak dapat bayar, tuan rumah mengugut bayar sewa dengan menguncikan meter airnya untuk ugut dia bayar sewa rumah. Jadi, saya hendak mohon pandangan Yang Berhormat Menteri, bagaimanakah kita hendak menyelesaikan masalah sewa tertunggak yang dihadapi ramai rakyat hari ini. Saya lihat di beberapa negara seperti USA, di UK di mana mereka telah memperkenalkan undang-undang sementara ataupun moratorium terhadap pengusiran penyewa rumah. Jadi saya hendak tanya, bolehkah kita di Malaysia buat begitu juga. Tuan Yang di-Pertua, seorang penjaja cenderahati di Bukit St. Paul di kawasan pelancongan di negeri Melaka, namanya Mr. Ivan. Sudah tiga kali memohon GKP, GKP 1, 2, 3, 4 tetapi mungkin kerana birokrasi sehingga hari ini tidak pernah sekali dilulus permohonan beliau. Jadi saya mohon supaya Kementerian Kewangan kurangkan mengikut birokrasi dan mempercepatkan proses permohonan mereka. Seorang pemuda pula ceburi dalam sektor logistik...
Tolong habiskan. Yang Berhormat, tolong habiskan ya, lebih tiga minit.
Ya, baik. Seorang pemuda mempunyai harapan yang cerah ceburi dalam logistik membeli banyak lori untuk perniagaannya, namanya Encik Leong. Oleh kerana MCO, lori-lorinya tidak dapat jalan, dia tidak ada pendapatan, dia terpaksa pinjam wang untuk bayar gaji pekerja dan juga bayar pinjaman bank. Akhirnya, oleh kerana hutang keliling pinggang dan dia mendapat tekanan yang
amat besar. Tuan Yang di-Pertua, apa sudah berlaku kepada Encik Leong ini? Bulan lepas beliau membunuh diri, mati. Bunuh diri kerana tidak tahan lagi dan meninggalkan seorang ibu yang berusia 70 tahun lebih. Saya percaya ramai yang bunuh diri, ada yang sudah mula tidak siuman termasuk mereka daripada pengusaha SME kerana pandemik COVID-19 ini. Jadi kira harus ingat Tuan Yang di-Pertua, SME adalah tunjang ekonomi negara, 97 peratus daripada perniagaan di Malaysia ialah SME.
Yang Berhormat sudah lebih empat minit tahu.
Ya, sedikit sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tahun lepas mereka masih boleh tahan, SME ini tetapi tahun ini mereka sudah “nyawa-nyawa ikan”. Jadi saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan, apakah strategi baru yang kerajaan boleh lakukan untuk bantu SME supaya mereka tidak bankrap. Akhir kata Tuan Yang di-Pertua, saya harap para Menteri dan kerajaan tolonglah, lihatlah penderitaan yang dihadapi oleh rakyat. Dengarlah suara rakyat. Kita lihat minggu lepas 13 September, Pakatan Harapan dengan kerajaan telah tandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik. Ini satu perkara yang baik di mana dapatlah kita selesaikan krisis politik bagi sementara waktu. Akan tetapi kita masih ada dua krisis besar iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi, di mana saya harap supaya semua parti politik kita boleh berganding bahu menyelesaikan dua masalah ini. Maka dengan ini, saya mohon menyokong usul menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Kota Melaka, terima kasih. Yang Berhormat Kota Samarahan, silakan.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya ingin menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menzahirkan ucapan dirgahayu ke atas tuanku di atas keprihatinan tuanku terhadap kebajikan rakyat.
Pada kesempatan ini patik dan warga Kota Samarahan mendoakan agar tuanku serta Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan seluruh ahli kerabat diraja tuanku dilimpahi rahmat dan senantiasa di bawah pelindungan Tuhan yang maha Esa. Semoga terus memayungi rakyat Malaysia dan menjadi tonggak kestabilan negara. Tuan Yang di-Pertua, tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob kerana telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan. Sepertimana titah Tuanku, saya juga pada kesempatan ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat Pagoh atas jasa bakti di sepanjang menerajui negara sebagai Perdana Menteri yang kelapan. Banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh Yang Berhormat Pagoh terdahulu perlu diteruskan. Antaranya ialah Program Pemulihan Negara, Pakej Rangsangan Ekonomi dan lain-lain program pembangunan semula negara yang terjejas sejak dunia dilanda pandemik COVID-19. Saya berharap rang undang-undang kestabilan politik terutamanya akta lompat parti dapat diperkenalkan oleh kerajaan dalam memastikan kita sebagai pemimpin yang menerajui negara ini dapat kekal berada di atas landasan masing- masing demi rakyat dan juga demi negara. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah membelanjakan RM530 bilion dalam mengendalikan Program Pemulihan Negara khususnya dalam memulihkan ekonomi dan mensejahterakan kehidupan rakyat untuk kembali seperti dahulu. Saya berterima kasih
kepada kerajaan yang meneruskan Bantuan Khas COVID-19 berjumlah RM10 bilion kepada rakyat yang memerlukan khususnya golongan B40 dan juga M40. Walau bagaimanapun, saya ingin mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap program pemberian bantuan tunai ini antaranya ialah memperkasakan atau memperbanyakkan perkhidmatan bank-bank bergerak ke kawasan perkampungan dan pedalaman khususnya di Sabah dan di Sarawak. Begitu juga saya ingin mencadangkan agar kerajaan dapat membayar Bantuan Tunai Khas COVID-19 ini dengan cara pembayaran tunai seperti pernah dilaksanakan semasa bantuan BR1M dahulu. Pembayaran melalui pejabat daerah dengan kerjasama bank-bank terus ke pusat-pusat yang dikenal pasti dan kaedah ini sebenarnya banyak memberi manfaat dan menguntungkan rakyat khususnya di luar bandar yang mana kita dapat mengelakkan kos pengangkutan, kos penginapan dan juga menjimatkan masa. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah menerus program subsidi upah yang menelan belanja sebanyak RM4 bilion bagi membolehkan 200,000 majikan untuk mengekalkan pekerjaan pekerja masing-masing, khususnya sepanjang tempoh pandemik ini. Walau bagaimanapun, saya khuatir dengan program ini disalahgunakan oleh sesetengah majikan termasuklah mereka yang tidak memberi upah yang sepatutnya dengan mengekalkan alasan pandemik COVID-19 sebagai punca utamanya. Saya mengambil kira beberapa contoh yang berlaku di kawasan saya Kota Samarahan. Antaranya terdapat pekerja yang terpaksa dihentikan pemberian gajinya kerana terlibat di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Mereka tidak mendapat gaji dari 14 hari hingga 21 hari bergantung kepada jumlah hari mereka tidak hadir disebabkan pelaksanaan PKPD di kawasan kediaman mereka. Saya mohon kepada Kementerian Sumber Manusia untuk lebih proaktif dan mengesan majikan-majikan yang berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil dalam membendung penyalahgunaan subsidi upah yang telah dibekalkan oleh kerajaan demi memastikan matlamat utama iaitu mengekalkan pekerjaan rakyat dapat dilaksanakan mengikut objektif yang telah ditetapkan. Tuan Yang di-Pertua, di sini saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada frontliners terutamanya di Kota Samarahan. Terima kasih tidak terhingga kepada Jawatankuasa Bencana Bahagian Samarahan, Jawatankuasa Bencana Daerah Asajaya, Jawatankuasa Bencana Daerah Samarahan, Polis Diraja Malaysia, KKM Samarahan, APM Samarahan, RELA, pihak UNIMAS, INFRA dan sukarelawan-sukarelawan yang telah pun bekerja keras dan memberi komitmen yang tinggi dalam usaha menangani COVID-19 di Kota Samarahan. Negara kita pernah mencatatkan sifar kes COVID-19 pada 8 Julai dan 9 Julai 2020 yang melibatkan hanya jangkitan import sahaja. Namun, segala-galanya berubah apabila keadaan ini telah menunjukkan peningkatan pada 20 September 2020 iaitu dengan 52 kes baharu pada ketika itu dengan jumlah bilangan kumulatif kes positif ketika itu adalah 10,219 kes positif COVID-19. Kini kita berdepan dengan cabaran varian baharu COVID-19 terutamanya varian Delta yang kini telah menguasai 90 peratus kes COVID-19 di negeri Sarawak. Oleh itu saya mohon penjelasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai pelan tindakan ke arah era endemik dan adakah kita bakal kembali hidup normal seperti dahulu? Begitu juga adakah usaha-usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kos harga test kit COVID-19, RTK-Antigen yang kini ditetapkan RM19.90. Bagi kita harga ini masih dianggap tinggi terutamanya kepada penduduk luar bandar. Tuan Yang di-Pertua, sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia pada Mac tahun lalu, transaksi atas talian telah mengambil kira transaksi yang dilakukan secara fizikal termasuk pendidikan dan juga aktiviti jual beli. Kerajaan terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2021 telah mengumumkan pemberian bantuan komputer riba sebanyak 150,000 buah dan pemberian data internet percuma kepada semua rakyat yang memerlukan. Pelaksanaan bantuan berkenaan saya difahamkan, sasaran penerimanya
adalah kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah terutamanya Tingkatan 4 dan juga Tingkatan 5. Ekoran itu saya ingin penjelasan daripada pihak kementerian status dan peratusan pengagihan bantuan komputer riba dan internet percuma ini. Di samping itu saya juga ingin mengetahui apakah perkembangan terkini pelaksanaan pelan tindakan Jalinan Digital Negara ataupun Program JENDELA yang menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan nilai pelan berkenaan berjumlah RM21 bilion seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada Ogos 2020. Saya telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Telekom Malaysia dan juga beberapa buah agensi kerajaan berkaitan dengan dasar dan juga pelaksanaan Program JENDELA ini. Di Kota Samarahan telah dapat dilihat pembinaan menara-menara telekomunikasi baharu di beberapa buah kawasan termasuk di Kampung Serpan Laut dan Moyan Laut. Namun menara-menara berkenaan masih belum beroperasi sehingga matlamat memperkasakan jaringan digital tersebut masih tidak tercapai. Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 1970 kita menyaksikan sebanyak 73.1 peratus ataupun 7.5 juta orang penduduk di dalam negara ini mendiami kawasan luar bandar. Namun setelah lima dekad, keadaan ini berubah secara total iaitu hanya 23.3 peratus penduduk masih tinggal di luar bandar yang merangkumi 7,609 juta orang penduduk berbanding 76 peratus ataupun 25 juta orang penduduk yang tinggal di banar.
Sebagai galakan dan sokongan kepada usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan di peringkat persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak juga telah memperkenalkan program Agriculture Facilitation Fund iaitu geran peruntukan bagi membolehkan petani-petani luar bandar untuk melaksanakan pertanian secara moden seperti penanaman sayur-sayuran secara fertigasi dan hidroponik. Berikutan daripada itu, saya mencadangkan perkara yang sama kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk memberikan satu usaha gabungan dalam meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar. Pada ketika ini, pendapatan isi rumah per kapita B40 untuk penduduk di kawasan luar bandar adalah sekitar RM2,900. Saya juga mencadangkan agar pihak kerajaan menambah peruntukan bagi membiayai program-program di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar termasuklah Program Ameniti Sosial, Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, Projek Bekalan Air Luar Bandar, jalan perhubungan desa, Agropolitan, Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung. Masih banyak kawasan di luar bandar yang memerlukan kemudahan-kemudahan seperti ini terutamanya di Sarawak dan juga di Sabah. Selain itu, saya turut mencadangkan agar Program Perumahan Rakyat Termiskin diperkasakan semula, khususnya buat penduduk yang tiada kemudahan rumah ataupun menumpang di rumah orang tua dan keluarga yang lain bagi membolehkan keselesaan dan juga kebajikan sosial penduduk di luar bandar dapat dipelihara sebaiknya. Tuan Yang di-Pertua, kini masyarakat lebih cenderung untuk berjual beli menerusi aplikasi atas talian seperti Shopee, Lazada dan lain-lain aplikasi yang menggunakan pembayaran menggunakan e-wallet seperti Grab, Touch ‘n Go dan lain-lain. Bagi aktiviti perjumpaan pula, ini juga boleh bertukar daripada fizikal kepada maya seperti aplikasi Google Meet, Zoom meeting dan Webex. Dalam tempoh empat tahun di antara tahun 2016 hingga 2020, terdapat peningkatan lebih satu bilion pengguna internet di seluruh dunia dengan 3.8 bilion pengguna pada tahun 2020. Kini, ekonomi secara digital menjadi pilihan kebanyakan negara-negara di Asia Tenggara termasuknya di Singapura, Thailand dan Vietnam. Malah negara-negara jiran kita Indonesia yang telah memperkenalkan strategi mereka Making Indonesia 4.0.
Disebabkan hal itu, kerajaan dicadangkan untuk memperkasakan ekonomi secara digital dalam masa yang terdekat khususnya dalam soal meningkatkan kemudahan- kemudahan serta fasiliti berkait rapat dengan rangkaian teknologi seperti telekomunikasi 5G dan rangkaian yang menggunakan gentian optik demi memastikan capaian internet yang lebih pantas dan meluas. Saya berterima kasih kepada usaha yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu di dalam memperkenalkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dengan sasaran untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baharu dengan memastikan 100 peratus isi rumah mendapat capaian kepada internet menjelang tahun 2020. Saya juga mencadangkan agar pihak kerajaan untuk menggandakan hubungan dua hala di antara kerajaan dan juga syarikat pemaju telekomunikasi ataupun telco untuk membangunkan kemudahan infrastruktur terutamanya di kawasan yang belum lagi menikmati kemudahan asas berkenaan. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan perbahasan saya, izinkan saya untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada atlet-atlet kita yang telah pun menunjukkan kecemerlangan yang sangat membanggakan di pentas Olimpik dan Para Olimpik Tokyo 2020. [Tepuk] Saya berharap agar mereka yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa ini diberikan anugerah dan juga penghargaan yang istimewa kerana telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Akhir sekali, saya menjunjung kasih sekali lagi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan negara Malaysia ini kekal sebagai sebuah negara yang aman lagi berdaulat. Sekian, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullah. Kota Samarahan mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Samarahan. Yang Berhormat Tampin boleh buat esok?
Jam berapa itu, Tuan Yang di-Pertua?
Esok.
Yang pertama?
Yang pertama.
Okey, boleh. Tidak jadi masalah.
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, terima kasih semua. Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Selasa, 21 September 2021. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 8.05 malam]
Kamar KhasSpecial Chamber
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Status Tindakan Penyelesaian Perumahan Generasi Kedua FELDA di Kawasan Parlimen PengerangSpecial Chamber
bismillah Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dalam kawasan Parlimen Pengerang terdapat 10 kawasan FELDA yang mana terdapat hampir 30 ribu penduduk yang sebahagian besarnya adalah generasi kedua FELDA. Sejak saya menjadi Ahli Parlimen, pelbagai usaha telah dijalankan untuk memastikan pembangunan dan kebajikan masyarakat FELDA terjaga. Namun begitu, terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan segera. Antara isu yang perlu diberi tumpuan ialah isu berkenaan perumahan generasi kedua FELDA.
Daripada 10 Tanah Rancangan FELDA di Pengerang, lapan FELDA masih menghadapi pelbagai masalah untuk mendirikan rumah generasi kedua. Antara isu utama dalam permasalahan perumahan generasi kedua FELDA di kawasan saya ialah berkenaan tentang permohonan geran yang masih belum diluluskan dan tiada kelayakan untuk membuat pinjaman bank.
Untuk makluman, saya juga telah mengadakan lawatan dan sesi perbincangan bersama Pengerusi FELDA pada 9 Mac 2021 bagi membincangkan isu-isu berkaitan perumahan generasi kedua FELDA. Pelbagai perbincangan bersama agensi kerajaan dan pihak swasta telah dilakukan namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian. Tuan Yang di-Pertua, saya amat memahami masalah dan tekanan yang dihadapi oleh generasi kedua FELDA yang majoritinya
adalah golongan muda. Keadaan bertambah rumit apabila mereka ini terkesan akibat wabak COVID-19 yang melanda negara kita yang mana ramai antara mereka telah hilang punca pendapatan.
Justeru, saya mohon pihak Kementerian terlibat iaitu Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dapat membantu menyelesaikan permasalahan perumahan generasi kedua FELDA di kawasan Parlimen Pengerang. Sekian sahaja. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua dan paling penting kehadiran daripada Yang Berhormat Menteri. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua. Di Parlimen Pengerang terdapat satu projek perumahan generasi baharu FELDA ataupun PGBF iaitu di Rancangan FELDA Papan Timur. Projek ini melibatkan pembinaan 539 unit kediaman dan sehingga kini kemajuan projek berada pada tahap 87 peratus dan dijadual siap pada tahun depan iaitu pada Mac 2022.
Tuan Yang di-Pertua permohonan geran ataupun hak milik individu bagi setiap unit kediaman tersebut telah pun diluluskan oleh Pejabat Tanah Dan Galian Johor pada 27 Ogos yang lalu. Kos projek ini adalah 75.1 juta dan kontraktor pula adalah LSAB IBS Sdn. Bhd. Selain daripada membina 359 unit kediaman, skop juga melibatkan pembinaan empat banggunan pencawang TNB satu loji rawatan kumbahan dan satu tangki air menara. Projek ini bermula pada April 2013 tetapi malangnya terbengkalai pada 2016 sebelum disambung semula pada 2019, dua tahun lalu menerusi peruntukan di bawah Kertas Putih FELDA.
Tawaran bagi penjualan akan dibuka kepada warga FELDA, pemastautin FELDA Wilayah Johor Bahru pada Disember 2021. Setelah tawaran itu tutup, senarai pemohon akan dikemukakan kepada Agrobank untuk dinilai kredit pemohon. FELDA akan menawarkan penjualan kediaman PGBF kepada pemohon yang melepasi penilaian kredit. Sekiranya masih terdapat baki penilaian yang belum dijual, tawaran akan diperluaskan kepada generasi baharu peneroka FELDA bukan pemastautin Wilayah Johor Bahru dan juga kakitangan FELDA.
Tuan Yang di-Pertua, purata kos pembinaan seunit kediaman rumah ini adalah kira-kira RM198,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi. Harga jualan unit tengah adalah RM90,000 sementara bagi end-lot, lot tepi harganya bermula pada RM95,000 dan ditambah dengan harga tanah pada kadar RM10 kaki persegi.
Berdasarkan kos sebenar pembinaan, kerajaan menanggung subsidi pembinaan PGBF ini kira-kira RM108,000 satu unit. Jadi pembeli membayar RM90,000, kerajaan membayar RM108,000.
Tuan Yang di-Pertua, PGBF ini merupakan suatu projek sosial untuk generasi baharu FELDA di tanah rancangan. Ia bermula seperti yang saya sebutkan tadi pada tahun 2013 untuk membantu generasi baharu FELDA memiliki rumah mampu milik yang selesa di samping mengoptimumkan penggunaan tanah kosong di tanah rancangan. FELDA untuk makluman Tuan Yang di-Pertua telah membangunkan 8,314 unit rumah di 38 lokasi dengan anggaran kos pembangunan kasar bernilai RM1.65 bilion.
Pada tahun 2019, daripada 38 tersebut, 20 lokasi telah mencapai kemajuan kerja 70 peratus dan ke atas, manakala 18 tapak lagi mencapai kemajuan kerja kurang daripada 69 peratus. Tuan Yang di-Pertua, melalui Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Parlimen pada 9 April 2019, kerajaan telah memperuntukkan RM250 juta bagi menyiapkan PGBF yang telah mencapai tahap siap 70 peratus dan ke atas.
Ini melibatkan 4,794 kediaman termasuklah rumah-rumah di Rancangan FELDA Papan Timur tadi ya.
Oleh sebab perkara ini menjadi isu yang besar di kawasan FELDA walaupun beberapa libat urus telah diadakan saya telah pun meminta pihak pengurusan FELDA untuk mengaturkan taklimat kepada beberapa Ahli Parlimen kawasan FELDA yang berkaitan dengan hala tuju perumahan untuk generasi baharu FELDA.
Mudah-mudahan dengan adanya taklimat ini akan ada pencerahan dan mungkin ada cadangan-cadangan mengenai hala tuju projek-projek yang masih belum disiapkan ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Pertimbangan Mengkaji Semula Premium Insurans PerubatanSpecial Chamber
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua,Terima kasih juga saya ucapkan kepada Timbalan Menteri Kewangan yang sudi datang menjawab ucapan saya. Saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan dan mengkaji semula premium insurans perubatan. Tuan Yang di-Pertua, insurans perubatan atau juga dikenali sebagai insurans kesihatan adalah produk yang harus dimiliki oleh setiap warga Malaysia. Produk ini bukanlah untuk golongan yang berkemampuan sahaja. Insurans perubatan sepatutnya dimiliki oleh semua lapisan masyarakat terutamanya oleh golongan berpendapatan sederhana
dan rendah. Ini membolehkan golongan tersebut juga mempunyai perlindungan insurans yang memuaskan.
Golongan ini juga boleh mendapat rawatan di hospital swasta apabila diperlukan. Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada hospital Kerajaan sahaja.
Akan tetapi, golongan berpendapatan sederhana dan rendah memilih untuk tidak membeli insurans perubatan dengan alasan premiumnya terlalu mahal. Mereka tidak mampu untuk membayar premium yang dikenakan oleh syarikat-syarikat insurans.
Kerajaan harus mencari jalan untuk mengurangkan premium bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Keistimewaan harus diberikan kepada golongan ini. Premium boleh dikurangkan jika kerajaan boleh memberi peruntukan subsidi kepada golongan ini. Selain daripada itu Bank Negara juga perlu mengawal premium produk insurans kesihatan. Bank Negara tidak boleh memberi kelulusan secara sewenang-wenangnya kepada syarikat-syarikat insurans untuk menaikkan premium produk insurans perubatan. Kerajaan harus memainkan peranan penting untuk mempromosikan produk insurans perubatan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jika lebih ramai rakyat Malaysia memiliki insurans kesihatan, ini juga akan mengurangkan beban kerajaan. Pesakit-pesakit yang bergantung kepada hospital- hospital kerajaan akan beralih untuk mendapat rawatan di hospital-hospital swasta.
Ini akan mengurangkan kos atau tanggungan kerajaan dalam jangka masa panjang.
Dalam pada itu, pesakit-pesakit juga boleh mendapat rawatan dan fasiliti yang lebih baik. Ini akan memajukan dan mencanggihkan lagi sektor kesihatan negara kita.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin tahu berapakah jumlah dari kalangan rakyat Malaysia yang memiliki insurans perubatan ketika ini? Apakah rancangan kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai warga Malaysia untuk memiliki produk tersebut.
Apakah sasaran kerajaan dalam jangka pendek dan jangka panjang? Baru-baru ini didapati premium insurans perubatan telah dinaikkan di antara 10 peratus hingga 15 peratus. Kenaikan ini dibuat dengan alasan-alasan seperti produk yang lebih inovatif, penularan COVID-19, kos inflasi, kos perubatan yang melambung dan peningkatan risiko pencarum.
Tuan Yang di-Pertua, pada hemat saya adalah tidak munasabah untuk menaikan premium ketika rakyat dan negara terpaksa menghadapi pandemik COVID-19. Bank Negara harus mengkaji semula tentang kenaikan kadar premium untuk produk insurans perubatan. Mohon Menteri memberi pencerahan mengenai perkara ini. Sekian, terima kasih.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang Di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, inisiatif Perlindungan Tenang telah dilancarkan pada tahun 2017 oleh Kerajaan bagi menggalakkan penawaran produk insurans dan takaful yang mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kadar premium yang ditawarkan adalah serendah RM1 sehingga RM20 sebulan. Inisiatif ini telah diperluaskan pada Julai 2021 dengan menggalakkan penawaran produk yang lebih inovatif, termasuk produk private medical and health insurance/takaful (MHIT). Pada suku keempat tahun ini pula, Kerajaan akan memberikan baucar bernilai RM50 kepada penerima yang layak di bawah skim Bantuan Prihatin Rakyat 2021 untuk membeli produk insurans Perlindungan Tenang.
Dalam tempoh pandemik COVID-19, pihak Insurance ataupun takaful operator (ITO) terus memberikan sokongan kepada semua pemegang polisi yang terjejas dengan tidak menaikkan kadar premium produk MHIT atau mengembalikan sebahagian premium bagi meringankan beban kewangan pemegang polisi. Selain itu, pihak ITO menawarkan pilihan untuk menangguhkan pembayaran premium selama tiga bulan tanpa menjejaskan perlindungan atau fleksibiliti untuk mengubahsuai liputan polisi mengikut kemampuan pemegang polisi.
Setakat akhir Disember 2020, terdapat sekitar 11.5 juta individu atau bersamaan 33 peratus daripada jumlah populasi Malaysia yang dilindungi oleh pelan MHIT yang ditawarkan oleh pihak ITO. Dari tahun 2016 sehingga 2019, tuntutan MHIT tahunan meningkat sebanyak 11.6 peratus secara purata, berbanding 9.5 peratus bagi premium MHIT. Kemampanan jangka panjang perlindungan insurans dan takaful memerlukan usaha bersepadu antara semua pihak seperti penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan bekalan perubatan, pengawal selia, pakar kesihatan, pihak ITO serta pemegang polisi dan pengguna untuk melaksanakan pembaharuan dalam ekosistem kesihatan dan perkhidmatan perubatan di Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang, Selasa, 21 September 2021. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat .
[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 2.47 petang]