Dewan Rakyat · 9 December 2021
15th Parliament, session 4, meeting 2 · 634 turns · 48,852 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Jawapan-Jawapan Menteri Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Tuan Tony Pua Kiam Wee [Damansara] minta Menteri Kewangan menyatakan tentang rasional perintah baru Jabatan Kastam tahun depan mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak untuk menjual bir/stout kepada bukan Islam yang mengganggu amalan hidup dan perniagaan bukan Islam sejak merdeka serta nyatakan bilangan perniagaan yang terjejas, fi lesen berkaitan, jumlah yang boleh dikutip dan apakah hukuman ke atas mereka yang ingkar.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ahli Yang Berhormat Damansara. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Damansara, dasar sedia ada menggariskan bahawa penjualan minuman keras secara runcit di premis perlu dilesenkan di bawah Akta Eksais 1976. Pada masa yang sama, pelesenan penjualan minuman keras adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan yang dilantik melalui perwakilan kuasa Menteri Kewangan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri melalui perintah yang diwartakan pada tahun 1977. Oleh itu, sebarang pelesenan penjualan minuman keras perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pelesenan selaras dengan seksyen 35, Akta Eksais 1976. Setakat ini, tiada pindaan telah dibuat bagi perwakilan kuasa tersebut. Di mana kerajaan negeri diberi kuasa untuk membuat keputusan berkenaan lesen penjualan minuman keras. Saya akur bahawa baru-baru ini timbul pelbagai kekeliruan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras di peringkat negeri. Saya ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa perwakilan kuasa melalui perintah yang diwartakan pada tahun 1977 masih kekal tanpa sebarang perubahan. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan segera dan mengemas kini segala dokumen perintah atau garis panduan bagi memastikan kekeliruan ini tidak berulang. Tindakan yang sewajarnya akan diambil bagi menyelesaikan perkara ini selewat- lewatnya menjelang hujung tahun ini, 31 Disember 2021. Oleh itu, sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya. Sekian, terima kasih.
Terima kasih. Silakan soalan tambahan Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Maksudnya, arahan permohonan lesen ini bukannya ditarik balik seperti yang diriuh- riuhkan oleh Presiden MCA, Yang Berhormat Ayer Hitam. Jawapan Yang Berhormat Menteri ialah kuasa kutipan fi lesen ini hanya diturunkan kepada pihak kerajaan negeri ataupun pihak berkuasa tempatan (PBT). Maksudnya juga, Yang Berhormat Ayer Hitam telah pun mengelirukan orang ramai mengenai perkara ini. PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang
sebelum ini sudah ada kontroversi mengenai penjualan minuman beralkohol di kedai- kedai ubat masyarakat Cina akan pasti menguatkuasakan perintah ini dan menganiaya kedai-kedai kopi yang hanya menjual minuman bir ataupun stout kepada pelanggan bukan Muslim. Ini ialah kedai-kedai kopi kecil hendak cari makan sikit, jual minuman bir kepada pelanggan bukan Muslim.
Soalan Yang Berhormat.
Saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah sebabnya pihak Kementerian Kewangan tidak batalkan secara langsung perintah ini supaya tiada kuasa langsung perlu diturunkan kepada pihak kerajaan negeri? Adakah perkara ini sudah dibincangkan dalam Kabinet? Adakah rakan- rakan di sebelah sana seperti Yang Berhormat Ayer Hitam ataupun daripada GPS telah setuju dengan perkara ini supaya perkara ini tidak lagi akan memberatkan beban kepada peniaga-peniaga kecil yang sekarang kita tahu susah hendak cari makan di luar sana sekarang? Terima kasih.
Terima kasih. Tiga soalan Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Damansara. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa pelesenan penjualan minuman keras adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan yang dilantik seperti saya sebut tadi melalui perwakilan kuasa Menteri Kewangan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri melalui perintah yang diwartakan pada 1977. Dakwaan ataupun tohmahan bahawa Kementerian Kewangan membatalkan perwakilan kuasa tersebut adalah tidak benar seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Damansara. Seperti yang juga saya telah nyatakan tadi, terdapat kekeliruan yang telah timbul dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan perkara ini di peringkat negeri. Oleh itu, seperti yang saya nyatakan tadi, saya telah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan kekeliruan ini tidak berulang dan pelesenan penjualan minuman keras kekal di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan.
Kerajaan sebenarnya Yang Berhormat Damansara, memang tiada niat untuk menarik balik apa-apa kelulusan pada masa kini. Sekian, terima kasih.
Akan tetapi walaupun kuasa telah diturunkan... [Pembesar suara dimatikan]
Maaf, maaf. Yang Berhormat, Yang Berhormat, tolong. Bukan masa bahas. Saya persilakan soalan tambahan kedua, Yang Berhormat Jempol. Silakan. Maaf, Yang Berhormat.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya difahamkan Malaysia telah merekodkan kehilangan cukai hampir RM1 bilion berikutan aktiviti penyeludupan haram terhadap rokok dan juga minuman keras sejak tahun 2020. Soalan saya, apakah strategi kementerian untuk mengatasi kehilangan hasil cukai yang serius akibat penyeludupan minuman keras dengan lebih berkesan. Sejauh manakah langkah kementerian dengan memperkenalkan lesen penjualan arak ini mampu untuk membendung masalah tersebut daripada terus berleluasa dan merugikan negara? Mohon Yang Berhormat Menteri untuk menjawab, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Sila, Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Sepanjang tahun 2020, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah merekodkan begitu banyak kes rampasan rokok berdasarkan data terkini dan juga minuman keras yang tidak sah. Nilainya lebih kurang
RM97 juta daripada 2,842 kes. Secara keseluruhan, anggaran kehilangan cukai melalui kes-kes ini adalah berjumlah RM707 juta. Bagi tahun ini sehingga bulan September, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah merekodkan 2,518 kes rampasan bernilai RM41.43 juta. Jumlah kehilangan cukai dianggarkan lebih kurang RM280 juta. Dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat penyeludupan rokok dan juga minuman keras, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia sentiasa mempergiatkan kawalan dan tindakan penguatkuasaan melalui pelbagai aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot dan juga kenderaan. Ini adalah di samping melakukan pelbagai operasi khas serta contohnya Operasi Outlet Rokok dan Minuman Keras. Tuan Yang di-Pertua, walaupun negara sedang menghadapi pandemik COVID- 19, usaha menangani aktiviti penyeludupan terus kita tingkatkan. Kita lakukan pelbagai tindakan antaranya termasuklah menyertai Ops Portcullis dan juga merangka operasi yang lebih dinamik kita dengan adakan Ops Benteng. Ops Benteng ini melalui penguatkuasaan sekatan jalan raya bersama agensi penguat kuasa. Kita melancarkan Ops Pacak di tempat-tempat yang telah dikenal pasti sebagai hotspot dan kita menyediakan juga mesin pengimbas bagi setiap proses inbound dan outbound di seluruh negara. Kita juga ada kerjasama dalam kita punya multi-agency task force (MATF) dengan pelbagai agensi penguat kuasa seperti PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, SPRM dan sebagainya. Kita juga menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta juga dengan pihak industri. Kita juga menjalinkan kerjasama antarabangsa supaya kita dapat buat perkongsian maklumat, perisikan antarabangsa dan operasi antarabangsa yang berkaitan isu-isu ini. Terima kasih Yang Berhormat dan juga terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
2. Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura, berapakah anggaran kos kedua-dua projek dan sama ada rundingan dengan Singapura dapat memastikan harga asalnya sebanyak RM100 bilion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Bagan. Untuk makluman Yang Berhormat, apabila perjanjian bilateral mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura terbatal pada 31 Disember 2020, kerajaan telah memutuskan supaya Kajian Daya Maju (viability) Projek HSR Kuala Lumpur-Iskandar Puteri dilaksanakan. Kajian yang bermula pada bulan Februari tahun ini tersebut telahpun selesai dan hasil kajian akan dibentangkan pada Jemaah Menteri sedikit masa lagi untuk menentukan cadangan projek dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru itu. Tuan Yang di-Pertua, dalam pertemuan antara Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita dengan Perdana Menteri Singapura pada 29 November lalu, cadangan untuk merunding semula Projek HSR antara Kuala Lumpur ke Singapura telah dibangkitkan. Dalam responsnya, Perdana Menteri Singapura terbuka untuk menerima cadangan baharu daripada Malaysia untuk Projek HSR ini. Saya ingin menekankan bahawa kemungkinan untuk menghidupkan semula Projek HSR KL-Singapura masih dalam perbincangan peringkat awal. Oleh hal demikian, pertanyaan Yang Berhormat Bagan sama ada kos projek boleh dikurangkan kepada RM50 bilion tidak berbangkit. Tuan Yang di-Pertua, mengikut anggaran yang telah dibuat oleh Malaysia, di bawah model yang dicadangkan itu HSR 2.0 (Baharu), kos projek adalah jauh lebih rendah daripada kos HSR Model 1.0 atau 2.0. Model yang terkandung dalam cadangan HSR 1.0 dan HSR 2.0 ialah perwujudan sebuah AssetCo.
AssetCo adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh pihak swasta dan dikawal selia bersama dengan Kerajaan Malaysia dan Singapura. Syarikat ini berfungsi sebagai pemilik sistem dan aset kereta api yang bertanggungjawab untuk membina, membiayai dan menyelenggarakan sistem dan aset kereta api serta melaksanakan perolehan dan penyelenggaraan stok kereta api. Di bawah Model HSR 2.0 (Baharu) yang dikemukakan oleh Malaysia kepada Singapura, Malaysia telah mencadangkan supaya AssetCo dimansuhkan tetapi cadangan ini tidak dipersetujui oleh pihak Singapura. Dengan itu perjanjian bilateral ditandatangani pada 13 Disember 2016 telah terbatal. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin memaklumkan sejak tahun 2013, kesemua rundingan mengenai Projek HSR diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan selepas itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Pada pertengahan tahun lalu, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya saya mengetuai rundingan untuk muktamadkan projek ini dengan Singapura. Untuk makluman Yang Berhormat seterusnya, pada masa ini kerajaan sedang dalam proses memindahkan syarikat MyHSR, syarikat bertujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal-hal teknikal mengenai Projek HSR, daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan. Oleh yang demikian, kesemua perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek ini akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih, soalan tambahan pertama.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanyakan Yang Berhormat Menteri, oleh kerana HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru adalah suatu projek yang akan diganti sekiranya cadangan HSR Kuala Lumpur-Singapura dicadangkan. Mengapakah pihak kerajaan tidak menyebut bahawa ia dibatalkan? Ini lebih-lebih lagi bila dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dinyatakan oleh semua pihak bahawa termasuk Ketua Menteri Melaka sekarang, bahawa Melaka tidak akan membenarkan HSR lalu Melaka sekiranya ia hanya henti di Johor Bahru dan tidak di Singapura. So, bolehkah dinyatakan– sebab kita jangan buang wang untuk buat kajian, jangan bazirkan masa dan wang dengan terus batalkan, ganti dengan HSR Kuala Lumpur- Singapura yang memang lebih feasible dan juga viable. Kedua, tentang masalah AssetCo. Adakah ini bermakna bahawa kerajaan tidak akan berpandukan kepada tender terbuka sepertimana yang disyaratkan dalam itu perjanjian awal dan menjadi punca mengapa HSR dibatalkan. Ini kerana, ia adalah suatu syarat yang amat penting untuk memastikan ketelusan dan juga accountability dalam projek yang begitu besar ini. Terima kasih.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Tuan Yang di-Pertua, dua soalan. Pertama, kenapa tidak dibatalkan begitu sahaja cadangan Projek HSR dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Kedua, berkaitan dengan AssetCo. Pertama, berkaitan dengan kenapa tidak dibatalkan? Kerajaan berpendapat bahawa projek ini adalah penting untuk meningkatkan connectivity dengan izin antara Malaysia-Johor Bahru dan suatu masa nanti Singapura. Ini kerana, Singapura adalah salah sebuah negara atau negara yang amat rapat dengan Malaysia. Oleh sebab pada 31 Disember lalu, seperti saya maklumkan tadi, perjanjian yang ditandatangani pada 2019 itu terbatal, yang mana kita tidak akan meneruskan rundingan atas model lama itu, maka kerajaan berpendapat bahawa mungkin ada kemungkinan boleh kita laksanakan projek antara Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Apa pun seperti yang saya sebutkan tadi, kajian sudah pun siap cuma tunggu untuk dikemukakan di Jemaah Menteri. Ada tiga pilihan iaitu pertama hendak tangguh, kedua untuk batalkan dan yang ketiga ialah untuk pinda model tersebut.
Itu antara pilihan yang akan dikemukakan kepada Kabinet. Oleh kerana keputusan untuk melaksanakan Kuala Lumpur–Johor Bahru itu dibuat dalam Jemaah Menteri, adalah wajar perkara ini diputuskan oleh Jemaah Menteri. Insya-Allah akan dibuat keputusan dalam sedikit masa lagi. Mengenai AssetCo yang kita cadang mansuhkan itu, kalau mengikut model iaitu HSR 2.0 baharu, bukan bermakna tidak ada tender terbuka. Memang, apabila modul lama itu diteruskan mengikut yang disetujui pada 2016 apabila ditandatangani bilateral agreement. Yang penting ialah AssetCo bagi Singapura tetapi apabila kita mengkaji semula perkara ini, kita dapati bahawa ada alternatif lain yang boleh diberi pertimbangan. Dalam konteks COVID-19, di mana kita menghadapi kekangan kewangan yang begitu mencabar, maka adalah wajar kerajaan melihat semula kosnya. Itu antara sebabnya mengapa Malaysia buat keputusan untuk mencadangkan kepada Singapura supaya dimansuhkan AssetCo. Ini tidak dapat diterima oleh Singapura. Sama ada cadangan Malaysia akan melibatkan tender terbuka ataupun terhad. Ia akan dilaksanakan secara direct nego, ini adalah tohmahan semata-mata. Tak semestinya dibatalkan, dimansuhkan AssetCo, tidak semestinya projek ini akan dilaksanakan melalui direct nego ataupun tender terhad. Itu andaian yang tidak betul, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Kota Samarahan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Baru-baru ini Perdana Menteri Singapura telah menyatakan kesediaannya yang terbuka untuk menerima sebarang cadangan baharu berkaitan dengan projek HSR (Kuala Lumpur–Singapura). Umum mengetahui pembatalan HSR sebelum ini yang menyebabkan negara perlu membayar RM320 juta adalah disebabkan agenda politik. Secara rasionalnya, antara laluan HSR Kuala Lumpur–Johor Bahru dengan Kuala Lumpur–Singapura, yang manakah mendatangkan lebih banyak limpahan ekonomi dan manfaat kepada rakyat Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Yang Berhormat Menteri.
Soalannya Tuan Yang di-Pertua, daripada Yang Berhormat Kota Samarahan ialah di antara HSR Singapura–Kuala Lumpur dengan HSR Kuala Lumpur–Johor Bahru, mana yang lebih banyak boleh mencetuskan limpahan ekonomi ataupun economic spillover effect. Itu soalannya. Itu sebabnya perlu dibuat kajian. Memanglah apabila dibuat kajian terdahulu, viability projek Kuala Lumpur – Singapura ini memang ianya viable tetapi isunya ialah kaedah pelaksanaan. Kita ada perbezaan dengan Singapura. Apa kaedah pelaksanaan? Singapura nak kekalkan AssetCo, Malaysia berpendapat bahawa kita harus ada alternatif lain. Jadi kita tidak pertikaikan viability. Kajian yang dibuat sebelum ini menyatakan bahawa projek HSR dari Kuala Lumpur–Singapura itu viable, kita tidak mempertikaikan perkara itu. Jadi, kalau Kuala Lumpur–Singapura itu viable, tujuan kajian ialah untuk menentukan sama ada cadangan baru Malaysia untuk melaksanakan projek antara Kuala Lumpur–Johor Bahru itu viable ataupun tidak, itu tujuannya. Saya sebutkan tadi, kajian bermula pada bulan Februari 2021 tahun ini. Kajian sudah pun siap, tunggu masa untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Jemaah Menteri akan melihat kepada kajian tersebut dan akan membuat keputusan sewajarnya berkaitan dengan hala tuju projek Kuala Lumpur–Johor Bahru. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan bin Idris.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Tuan Yang di- Pertua, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun.
Berbaju batik sungguh bergaya, Pakai beramai sangat membanggakan, Tuan Yang di-Pertua berbatik segak bergaya, Soalan 3 Jerantut sediakan, berbunyi.
3. Dato’ Haji Ahmad Nazlan bin Idris [Jerantut] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan apalah peranan ketua eksekutif dan pengurusan tertinggi agensi-agensi di bawah MEDAC di dalam melaksanakan dasar-dasar yang digubal oleh kementerian.
Terima kasih Yang Berhormat Jerantut. Nak jawab pantun dah tak sempat dah. Tuan Yang di-Pertua, bagi menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan, terdapat 11 agensi telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, SME Corp, UDA Holding, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Institut Keusahawanan Negara dan PERNAS, Amanah Ikhtiar Malaysia, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Untuk makluman Yang Berhormat, dalam memastikan sistem penyampaian berkesan kepada kumpulan sasar merangkumi PMKS serta koperasi, beberapa dasar telah digubal di peringkat kementerian bagi menyokong pelaksanaan polisi di peringkat nasional seperti Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025. Peranan ketua eksekutif dan pengurusan tertinggi agensi adalah sangat penting bagi memastikan keputusan dasar yang dipersetujui di peringkat kementerian dapat dilaksanakan berdasarkan terma rujukan dan juga prosedur yang sama di peringkat negeri dan juga daerah atau cawangan. Ertinya, nak pastikan dasar-dasar ini sampai ke peringkat cawangan. Di antara dasar-dasar baru yang ditekankan: (i) tiada penilaian CTOS dan CCRIS bagi pembiayaan di bawah dana kerajaan semasa tempoh pemulihan kesan pandemik COVID-19; (ii) setiap agensi juga telah diarahkan untuk mempermudahkan. Prosedur permohonan mesti dikurangkan sehingga 50 peratus dan tempoh kelulusannya dikurangkan sehingga 40 peratus; (iii) selain daripada itu, dasar yang baharu juga hendak memastikan setiap peserta yang dilatih atau menjalani latihan di bawah MEDAC mestilah dipastikan habis kursus, dia mesti menjadi seorang usahawan; dan (iv) kita juga telah mengarahkan tidak boleh mengambil apa-apa tindakan undang-undang kepada usahawan-usahawan dalam tempoh sehingga Jun ini. Untuk memastikan hasrat ini tercapai, maka semua CEO dan juga pengerusi di bawah agensi MEDAC hendaklah diwajibkan hadir mesyuarat pos kabinet supaya apa juga dasar yang dibuat bukan sahaja akan difahami oleh CEO tetapi juga pengerusi- pengerusi agensi tersebut juga kena memahami dasar-dasar yang telah diputuskan. Untuk memantau pelaksanaan ini berjalan, maka jawatankuasa pemantauan telah pun ditubuhkan di mana setiap agensi ahli jawatankuasa memantau untuk memastikan bahawa segala arahan ini dilaksanakan dan jika dapat apa-apa kompelin daripada rakyat, tindakan ini akan diambil. Yang akhir, Yang Berhormat Menteri sendiri, saya sendiri boleh memantau bagaimana kecekapan CEO-CEO ini dengan memberikan beberapa minit. Jika saya ada buat minit kepada CEO, saya akan letak tarikh. Katalah dalam 15 hari mesti menjawab minit saya, kalau dah 15 hari pun tidak dijawab, maka saya boleh menilai sebagai CEO ini kalau minit Yang Berhormat Menteri pun diabaikan, apatahlah lagi harapan dan juga permohonan daripada rakyat. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama, Yang Berhormat Jerantut.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri atas penerangan yang disampaikan. Tuan Yang di-Pertua, umum mengetahui halangan utama kepada CEO dalam melaksanakan tugasnya kerana ada sebahagian daripada peminjam-peminjam tidak ikhlas ataupun tidak berjaya melunaskan pinjaman mereka mengikut tempoh-tempoh tertentu. Walau bagaimanapun, saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, apakah tindakan yang boleh diambil sekiranya ada di antara CEO ini tidak dapat melaksanakan dasar-dasar mahupun arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kementerian. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat. Dalam mengambil tindakan, jika tidak mengikut arahan, tentulah boleh diambil tindakan tatatertib. Dalam mengambil tindakan tatatertib ini, kita sedia maklum ada undang-undang dan juga peraturan-peraturan yang tertentu. Sekiranya agensi ini dikategorikan sebagai badan berkanun, maka kita ada Akta 605 atau Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 untuk diambil tindakan kepada mana-mana CEO yang gagal menjalankan tugas. Kalau ianya di bawah syarikat, kita juga sedia maklum kita juga ada peraturan di bawah akta syarikat masing-masing bagaimanakah tindakan yang akan diambil. Dalam masa yang sama, saya juga sebagai Yang Berhormat Menteri juga boleh memantau mengenai arahan-arahan yang telah diberi dan kerana itulah kita juga akan memberikan amaran-amaran tertentu.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat, bermakna apa yang berlaku di bawah MEDAC ini pernah berlaku, di mana ada dua CEO di dua buah agensi ini dinasihatkan supaya berhenti. Ada juga yang diambil tindakan untuk diberhentikan. Jadi, insya-Allah kita akan memantau dan juga kena ingat CEO-CEO ini kebanyakan mereka ada kontrak. Kalau tidak ambil tindakan pun, kalau kontraknya habis kita akan menilai semula kontrak ini akan disambung ataupun tidak. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan sebelah sini tidak ada. Ada Yang Berhormat Alor Gajah, silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Mohon Yang Berhormat Menteri memberi sedikit maklumat. Dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang dilancarkan dalam tahun 2019 dan saya jangka ia sedang diteruskan. Antaranya kita berlandaskan kepada enam strategik teras. Satu soalan yang spesifik, apakah pencapaian setakat ini apabila kita menyebutkan strategik teras nombor enam iaitu internationalising high-growth local enterprises. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Alor Gajah.
Yang Berhormat Alor Gajah.
Ini kerana soalan asalnya ini Yang Berhormat buat dahulu. Dia bekas Menteri. Jadi saya tidak boleh hendak lari daripada soalan dengan beliau. Dia lebih arif daripada saya ketika membuat dasar. Seperti mana Yang Berhormat sedia maklum, oleh kerana itu untuk kita memastikan bahawa dasar eksport ke luar negara ini akan mencapai matlamat, beberapa dasar kita telah buat seperti agensi di bawah PNB sebagai contoh. Kita memang ada dasar untuk membantu eksport luar negara, kita ada menyediakan geran. Kita memberikan kemudahan geran untuk kita membantu, untuk ke peringkat antarabangsa. Begitu juga tidak silap saya SME Bank juga ada memberikan geran. Dalam masa yang sama, kita juga akan mengambil bahagian di dalam ekspo-ekspo
di peringkat antarabangsa untuk kita hendak mempromosikan eksport-eksport tempatan ini supaya ia dapat dilaksanakan di peringkat antarabangsa. Alhamdulillah, dalam ekspo yang diadakan oleh SME Corp. baru-baru ini telah pun membuktikan ada banyak syarikat yang telah berjaya dipertingkatkan di peringkat antarabangsa dan insya-Allah dasar Yang Berhormat buat itu kita akan cuba laksanakan. Terima kasih banyak.
Terima kasih. Yang Berhormat semua, sekarang tamatlah sesi untuk waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada hari ini. Terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat. [Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Dato' Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh [Sabak Bernam] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan apakah langkah kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran di kalangan pelajar-pelajar di negara ini dari segi ketatanegaraan, Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab rakyat kepada negara selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan hak mengundi kepada belia berumur 18 tahun dan ke atas yang kebanyakannya masih di alam persekolahan.
Tuan Yang di- Pertua, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi meningkatkan kesedaran murid tentang ketatanegaraan, Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dalam memahami, menghayati dan menjunjung kedaulatan negara. Usaha ini dilaksanakan melalui pendekatan kurikulum, kokurikulum dan pelbagai program bertujuan memberi pengetahuan dan pemahaman kepada murid. Sehubungan dengan itu, KPM telah memasukkan tajuk dan kandungan yang berkaitan dengan perkara tersebut dalam kurikulum sejarah. Bermula dari sekolah rendah, murid diajar tentang latar belakang pengetahuan asas sejarah negara melalui tema sejarah awal negara, kedaulatan negara dan kemakmuran negara kita untuk membentuk karakter murid sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan cinta akan negara. Pada peringkat menengah pula, selaras dengan kematangan usia pengetahuan murid diperkukuh melalui tema sejarah kita dan dunia, warisan bangsa, kedatangan kuasa asing, pembinaan negara serta Malaysia dan masa hadapan. Ini adalah bertujuan supaya murid memahami kepentingan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan mempertahankan kedaulatan negara termasuklah hak mengundi kepada belia berusia 18 tahun ke atas. KPM juga bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Akademi Pilihan Raya serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). KPM yakin kandungan kurikulum, kokurikulum serta program yang dilaksanakan ini dapat menyediakan murid yang berfikiran matang dan bertanggungjawab untuk membuat keputusan yang berasaskan pengetahuan dalam merealisasikan konsep Keluarga Malaysia. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama, silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah memberikan jawapan sebentar tadi. Kita tahu bahawa kerajaan telah memutuskan bahawa pada 17 Julai 2019 bahawa pengundi dibenarkan berumur 18 tahun.
Soalan saya, kerana rata-rata pengundi 18 tahun ini adalah terdiri daripada pelajar iaitu daripada Tingkatan 6 ataupun yang memasuki IPTA dan IPTS. Kita yakin bahawa syllabus itu adalah diperlukan untuk mengukuhkan lagi pengetahuan dalam bidang pentadbiran negara. Soalan tambahan saya ialah, setakat manakah kerajaan, khususnya KPM merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sekarang supaya mampu menjadikan remaja berumur 18 tahun sebagai rakyat yang matang untuk memilih pemimpin negara dan membuat keputusan negara? Setakat manakah pendidikan masa kini mampu memberikan kesedaran tentang demokrasi dan proses pilihan raya serta fungsi-fungsi kerajaan? Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sabak Bernam. Ada dua soalan yang saya kira sangat penting. Tuan Yang di-Pertua, kurikulum kebangsaan digubal berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara merangkumi kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang mengandungi pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kandungan kurikulum kebangsaan membantu perkembangan seseorang murid daripada segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menenang dan mempertingkatkan nilai moral yang tinggi.
[Bangun]
[Bangun]
Selain itu, guru memainkan peranan yang sangat penting untuk membimbing murid, memahami serta menghayati konsep kenegaraan dan seterusnya berupaya membuat korelasi tentang hak mengundi perlu dihargai sebagai sumbangan mengekalkan keharmonian dan kestabilan pemerintahan negara. Jadi, mengenai soalan bagaimana pendidikan masa ini mampu memberikan kesedaran tentang demokrasi dan proses pilihan raya, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran ataupun DSKP Sejarah Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 mengandungi tajuk khusus yang berkaitan demokrasi, proses pilihan raya serta fungsi-fungsi kerajaan. Selain itu, murid juga dapat menghubung kait perkara tersebut melalui penguasaan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang merangkumi kepentingan berikut: (i) integriti dan jati diri, (ii) pilihan raya sebagai lambang demokrasi; (iii) memilih kepimpinan yang berwibawa; (iv) perkongsian kuasa dalam masyarakat berbilang kaum; (v) mewujudkan pentadbiran yang sistematik; dan (vi) sikap kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam membangunkan negara. Kandungan kurikulum ini mendidik murid untuk membuat keputusan yang bijak sebagai pengundi yang berintegriti dalam membantu negara mempunyai barisan pemimpin yang layak lagi berwibawa untuk mentadbir demi kesejahteraan dan masa depan negara. Terima kasih.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Simpang Renggam.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya lihat ada perbezaan antara pendekatan KPM kini dengan apa yang kita pernah buat. Pada Jun 2019, KPM pernah memperkenalkan pendidikan sivik merentasi kurikulum, merentasi subjek dan merentasi kokurikulum. Antara isi kandungan pendidikan sivik adalah untuk menghasilkan warga yang bertanggungjawab termasuk di dalamnya pendidikan berkaitan demokrasi dan tanggungjawab mereka, tanggungjawab warga.
Kedua, kita juga adakan kerjasama pada tahun 2019 dengan SPR di waktu itu, Tuan Yang di-Pertua sendiri telah bekerjasama dengan KPM, dengan saya melalui Akademi SPR.
Ketiga, di antara usaha KPM pada waktu itu untuk mematangkan para pelajar, kita telah mewujudkan sudut pidato di sekolah semenjak Darjah 1 sehingga Tingkatan 6. Mereka diberi peluang untuk berpidato, dilatih untuk ucap umum dan juga melahirkan idea mereka. Ini sebahagian daripada proses pendidikan kematangan itu. Di samping itu kita juga telah mengarahkan supaya pelajar Tingkatan 6 di dalam memilih ketua pelajar diadakan pilihan raya dengan dibantu oleh Akademi SPR untuk melakukan simulasi dan sebagainya. Soalan mudah sahaja Tuan Yang di-Pertua, apakah usaha-usaha ini masih diteruskan pada waktu ini kerana apa yang saya dengar tadi, pusing keliling dunia tanpa mempunyai aktiviti yang tersasar dan juga tanpa mempunyai program yang jelas berbanding dengan apa yang kita pernah lakukan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat, silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Simpang Renggam. Banyak yang telah dibangkitkan, disebut oleh Yang Berhormat Simpang Renggam. KPM telah melaksanakan pendidikan sivik sepertimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Simpang Renggam mulai tahun 2019, dalam lima mata pelajaran iaitu merentas mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah. Melalui pelaksanaan ini, konsep ketatanegaraan telah diajar kepada murid mulai dari prasekolah...
Soalannya, apakah masih diteruskan benda itu semua. Soalannya simple, tidak payah panjang-panjang.
Terima kasih Yang Berhormat Simpang Renggam. Semua usaha ini kita teruskan. Malah kita telah buat penambahbaikan dengan mengadakan aktiviti patriotisme melalui Kelab Malaysiaku dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia, aktiviti berteraskan pengamalan Rukun Negara dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), sesi sindikasi simulasi pemilihan ketua murid melalui mekanisme pilihan raya sebagai projek rintis, program pendidikan pengundi dengan kerjasama sepertimana yang disebut akademi pilihan raya dan sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook, silakan.
2. Tuan Loke Siew Fook [Seremban] minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah syarikat penghantar freight (freight forwarding agent) dan syarikat logistik yang bertaraf ‘international integrated logistic service’ yang diberikan lesen oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum tahun 1976, di antara 1976 hingga 1990 dan selepas tahun 1990 yang masih aktif.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ahli Yang Berhormat Seremban atas persoalan. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, sektor logistik dan pengangkutan merangkumi satu rantaian yang panjang daripada ejen kastam, pengangkutan, pengendali depot penyimpanan, penghantaran dan pengendalian input pengeluaran dan produk akhir, finished product dengan izin dari pengeluar ke pengguna. Industri logistik membentuk tulang belakang kepada rantaian bekalan dan diiktiraf sebagai kunci utama bagi merangsang perdagangan memudah cara kecekapan perniagaan serta memacu pertumbuhan ekonomi.
Tuan Yang di-Pertua, sehingga kini terdapat lebih daripada 40,000 syarikat berkaitan logistik dan pengangkutan, di mana kira-kira 90 peratus, 36,224 adalah dari sektor pengangkutan darat, 8 peratus iaitu 3,357 dari sektor pergudangan dan aktiviti sokongan, manakala selebihnya adalah daripada sektor pengangkutan air 800 dan pengangkutan udara 25. Bagi menyokong serta melancarkan proses dokumentasi dan transaksi kastam di sepanjang rantaian bekalan logistik dan pengangkutan di bawah peruntukan seksyen 90 Akta Kastam 1967, pengimport, pengeksport atau pengilang boleh melantik ejen kastam untuk melakukan sebarang transaksi kastam bagi pihak mereka. Untuk makluman Yang Berhormat, ejen kastam yang didaftarkan di bawah Seksyen 90 Akta Kastam 1967 terdiri daripada tiga ejen iaitu ejen penghantaran, dengan izin forwarding agent, ejen perkapalan atau shipping agent dan ejen pengangkutan barang atau freight forwarder. Berdasarkan data dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Tuan Yang di-Pertua, jumlah syarikat yang dilesenkan sebagai ejen penghantaran atau forwarding agent kastam di bawah perundangan berkenaan mengikut tempoh adalah seperti berikut. Sebelum tahun 1976, sebanyak 32 buah syarikat telah berdaftar. Antara 1976 hingga 1990 sebanyak 151 buah syarikat dan selepas tahun 1990, sebanyak 1,500 buah syarikat. Ini menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang mendapat lesen ejen penghantaran kastam, forwarding agent sebanyak 1,683 syarikat setakat ini. Daripada jumlah keseluruhan tersebut hanya 8.3 peratus iaitu 141 syarikat merupakan syarikat bertaraf perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa atau international integrated logistic services (IILS). Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih, silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu jawapan kepada saya daripada pihak MITI menyatakan bahawa daripada 195 buah syarikat yang diluluskan status IILS sehingga bulan September 2021, 86 peratus daripada syarikat-syarikat IILS ini ataupun 141 adalah bertaraf dimiliki saham sepenuhnya oleh rakyat tempatan. Hanya 12 syarikat atau tujuh peratus yang mempunyai pemilikan saham sepenuhnya oleh pelabur asing. Soalan saya ialah, kalau kita melihat dasar ekuiti kepada syarikat IILS ini, syarikat yang bertaraf IILS diberikan hak milik pemilikan ekuiti asing 100 peratus. Saya hendak tanya, adakah ini juga terpakai kepada syarikat IILS yang dimiliki oleh rakyat tempatan. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih ahli Yang Berhormat Seremban. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sepertimana ahli Yang Berhormat sedia maklum, bahawa syarikat IILS merupakan perkhidmatan dari pintu ke pintu. Itu sebabnya kita telah bagi lanjutan kali kedua sehingga Disember 2022. Bermakna bagi IILS yang disebutkan tadi, local dan foreigner kita bagi pengecualian sehingga Disember 2022. Namun demikian Yang Berhormat, ini perkara yang Yang Berhormat telah bertanya pada 28 September tempoh hari. Soalan yang hampir sama dan soalan tambahan pun yang hampir sama. Saya fikir Yang Berhormat, perkara ini Yang Berhormat telah maklum, namun demikian pihak Kementerian Kewangan telah meminta TERAJU, melalui Jemaah Menteri untuk membuat satu kajian yang terperinci berkaitan ekuiti ini supaya layanan ini dapat kita lihat. Untuk makluman Yang Berhormat, sepertimana yang saya sebut dalam jawapan asal tadi, rantaian industri logistik ini terlampau besar. Hanya 0.1 peratus sahaja pemilikan bumiputera. Kalau kita lihat daripada segi pendapatan tahunan, hanya 100,000 sahaja yang melibatkan ejen penghantaran. Tetapi, in the big picture Tuan Yang di-Pertua adalah melibatkan pihak-pihak yang mempunyai kemampuan. Itu sebabnya kita melihat apa sahaja yang kita buat, ia merupakan teras kepada pemacu ekonomi negara. Itu sebab kita kena teliti dalam perkara ini, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Ada soalan tambahan kedua. Yang Berhormat Tebrau. Sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan menjawab soalan dari Yang Berhormat Seremban. Tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri sudah sebut, penangguhan pelaksanaan memerlukan saham ekuiti diberikan kepada bumiputera ini ditangguhkan pada hujung tahun hadapan dan sedang dikaji. Jadi, saya hendak minta Yang Berhormat Timbalan Menteri menyatakan apa rasionalnya. Adakah satu peruntukan atau keputusan yang dibuat pada 21 tahun yang lepas masih diguna pakai pada masa ini kerana faktor-faktor atau kriteria-kriteria 21 tahun yang lepas itu mungkin sudah tukar banyak. Jadi, saya faham lah kriteria-kriteria atau faktor- faktor baharu yang relevan akan diguna pakai untuk mengkaji semula supaya ini tidak akan menjadi satu isu yang membebankan atau membuat pengusaha sektor ini kecewa dan akan keluar dari negara kita dan buat business di negara lain. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, sudah pasti apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tebrau tadi akan diambil kira dalam pertimbangan kajian oleh pihak TERAJU kerana apa, kita yakin hasil kajian ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi kita melakarkan satu ekosistem yang lebih baik dan adil.
Cumanya Tuan Yang di-Pertua, kalau kita lihat daripada segi statistik yang sedia ada, perkhidmatan pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan output kasar RM120.7 bilion pada tahun 2017 kalau hendak dibandingkan dengan tahun 2015, maknanya ada peningkatan 5.1 peratus. Itu sebabnya kalau kita lihat, bukan isu kita meletakkan ekuiti bumiputera itu sebagai isu kerana ia hanya 0.1 peratus sahaja syarikat perkhidmatan logistik dan pengangkutan Bumiputera yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang bernilai tinggi. Sepertimana yang saya sebutkan tadi semasa soalan tambahan Yang Berhormat Seremban, yang terlibat dengan ekuiti bumiputera ini hanya RM100,000 per tahun. Kalau kita lihat Tuan Yang di-Pertua, banyak perkara yang telah kita liberalisasikan yang tanpa ada ekuiti bumiputera. Saya ingat perkara ini tidak perlu diperbesarkan dan kita akan tunggu keputusan atau hasil kajian daripada TERAJU. Insya- Allah perkara ini akan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Batang Lupar.
3. Dato' Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim [Batang Lupar] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan bagaimana kementerian dapat mengintegrasikan antara minat orang ramai yang suka berekreasi dengan mendaki dan berkelah serta berbasikal di kawasan air terjun dan hutan yang telah digazetkan sebagai hutan simpan dalam masa yang sama memelihara alam sekitar.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Batang Lupar. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa proaktif dalam membangun dan mengetengahkan destinasi pelancongan bertemakan ekopelancongan kepada para pelancong dari dalam dan luar negara. Usaha-usaha ini diterajui oleh Tourism Malaysia, salah sebuah agensi di bawah MOTAC. Aktiviti riadah, rekreasi atau minat khas akan digunakan sebagai salah satu antara produk atau motif untuk menyokong sektor pelancongan. Contohnya ialah aktiviti pendakian serta pengembaraan lasak. Antara destinasi pendakian dan rekreasi terkenal negara yang sentiasa mendapat perhatian adalah Gunung Kinabalu di Sabah, Gunung Mulu dan Gunung Santubong di Sarawak, Gunung Tahan di Pahang serta Bukit Broga di Selangor. Destinasi-destinasi ini tentu sekali ialah destinasi yang tidak akan menghampakan peminat aktiviti pendakian dan ekopelancongan kerana di samping mereka dapat menjalankan aktiviti riadah dan
minat, mereka akan turut disajikan dengan kepelbagaian hidupan liar, formasi jiwa hutan, air terjun serta keunikan khazanah alam flora dan fauna negara. Dalam terus menyokong segmen ini, Tourism Malaysia kini giat melaksanakan pengemaskinian brosur ekopelancongan yang bertajuk Adventure with Nature, dengan izin, dengan menambah baik maklumat destinasi ekopelancongan, pengembaraan lasak serta turut memuatkan panduan tip praktikal ketika melancong ke destinasi-destinasi ini. Sementara itu Tuan Yang di-Pertua, seiring dengan trend aktiviti berbasikal yang semakin menarik minat di kalangan rakyat Malaysia, Tourism Malaysia akan menerbitkan edisi terbaru majalah berbasikal yang pernah diterbitkan sejak tahun 2013. Sebelum ini beberapa edisi majalah berbasikal berjudul, dengan izin, Discover Malaysia by Bicycle pernah diterbitkan yang turut membekalkan maklumat berhubung lebih kurang 100 pakej berbasikal di pelbagai destinasi di dalam negara. Edisi baharu buku panduan yang dirancang untuk diterbitkan pada tahun hadapan, tahun 2022 ini akan turut meliputi elemen aktiviti berbasikal yang lebih menarik dan mesra alam sekitar, selaras dengan konsep pelancongan mampan. Di samping itu, antara pakej berbasikal lain yang dirancang untuk dibangunkan adalah Pakej Berbasikal di Sematan dan Lundu di Sarawak, kawasan Agropelancongan Sekinchan, Selangor dan juga meneroka potensi di sepanjang pesisir pantai di negeri Terengganu. Aktiviti yang dirancang ini juga akan turut melibatkan Pelancongan Berasaskan Komuniti (community-based tourism – CBT) bagi membuka peluang yang lebih luas kepada lebih banyak pihak dalam rantaian pelancongan ini. Selain itu juga, selain untuk memastikan pembangunan produk pelancongan yang mampan, berdaya saing dan inklusif seperti yang dinyatakan dalam Dasar Pelancongan Negara, usaha ini juga adalah selaras dengan salah satu strategi yang digariskan dalam Dasar Ekopelancongan Kebangsaan 2016 hingga 2025 iaitu sinergi antara ekopelancongan dan pemuliharaan, mengintegrasikan Pelan Pengurusan Pelancongan dan Pelan Pengurusan Hutan Simpan menjadi antara ramuan utama dalam menyediakan garis panduan dan amalan terbaik untuk pembangunan penginapan ekopelancongan di dalam kawasan hutan simpan atau Taman Negara. Jadi, program promosi akan terus giat dilaksanakan secara berterusan bagi menarik minat pelancong untuk menikmati khazanah alam sekitar melalui aktiviti sukan dan rekreasi, pendakian serta aktiviti berbasikal serta pada masa yang sama, memupuk kesedaran masyarakat kepada kepentingan penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas segala usaha yang telah dijalankan. Akan tetapi Yang Berhormat Menteri dan Tuan Yang di-Pertua, banyak rungutan yang disalurkan oleh orang ramai mengenai kesukaran dan birokrasi bagi mendapatkan permit memasuki hutan bagi aktiviti riadah dan pelancongan. Apakah pendekatan yang dilakukan oleh kementerian di dalam menangani isu orang ramai atau pengunjung yang ditahan atau disaman oleh Jabatan Perhutanan yang kebanyakannya tidak mempunyai permit masuk hutan bagi melakukan aktiviti-aktiviti riadah ini? Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Batang Lupar. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat prosedur tertentu untuk masuk ke sesuatu kawasan Taman Negara atau hutan simpan. Saya ingin memberi contoh, untuk masuk dan melancong atau melakukan aktiviti di Taman Negara. Untuk masuk ke Taman Negara, pelancong atau pengunjung perlu mendapatkan permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Terdapat beberapa jenis permit dan lesen yang perlu dimohon tertakluk kepada aktiviti yang ingin dilakukan. Antaranya adalah: (i) permit masuk (entry permit), dengan izin; (ii) lesen kamera, termasuk telefon pintar yang mempunyai kamera; dan
(iii) lesen pancing (fishing license). Urusan ini biasanya dikendalikan oleh agensi pelancongan berlesen. Jika pelancong atau pengunjung tersebut mengembara tanpa menggunakan agensi pelancongan, mereka juga boleh memohon permit-permit berkenaan sendiri dengan Jabatan PERHILITAN. Bagi Taman-taman Negara, saya difahamkan ia boleh dimohon di kaunter Jabatan PERHILITAN di pintu masuk Taman Negara. Selain daripada permit, ada kawasan dan aktiviti di dalam kawasan Taman Negara yang memerlukan pelancong atau pengunjung dipandu oleh pemandu pelancong (tourist guide). Oleh itu, pelancong atau pengunjung ke tempat-tempat seperti Taman Negara dan hutan simpan ini perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Selain daripada membangunkan produk pelancongan, peranan serta fokus MOTAC dan Tourism Malaysia adalah mengenal pasti dan mengetengahkan produk- produk pelancongan yang ada, sama ada ia dibangunkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan melalui kementerian-kementerian lain, kerajaan negeri mahupun swasta. Produk-produk pelancongan ini akan dipakej dan dipromosikan bagi menarik perhatian dan pengetahuan umum untuk menarik minat mereka untuk mengunjungi dan melancong ke destinasi-destinasi dan produk pelancongan ini. Berbalik kepada isu pengunjung yang ditahan kerana melakukan aktiviti riadah di kawasan hutan simpan seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat tadi, isu ini adalah spesifik dan tidak berada di bawah bidang kuasa MOTAC. Akan tetapi lebih kepada kuasa di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) atau Kementerian Sumber Asli. Saya akan sampaikan pertanyaan yang diajukan oleh Yang Berhormat Batang Lupar ini kepada Yang Berhormat Menteri-menteri tersebut untuk kementerian mereka memberi maklum balas secara bertulis kepada pertanyaan Yang Berhormat ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Hulu Selangor, berdiri lama Yang Berhormat Hulu Selangor.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Untuk makluman Yang Berhormat Menteri, Hulu Selangor semakin didatangi ramai peminat sukan berbasikal menggunakan laluan dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser. Namun, Hulu Selangor melihat kurangnya fasiliti sokongan seperti tempat persinggahan yang mesra basikal (cyclist-friendly), dengan izin, bagi menarik lebih ramai orang melakukan aktiviti ini dengan selamat. Pada masa yang sama, kementerian juga perlu melihat kekurangan hotel untuk pelancong di Bukit Fraser. Soalan Hulu Selangor, bagaimanakah kementerian boleh membantu untuk memastikan produk sports tourism ini boleh terus berkembang maju di Bukit Fraser dan juga di tempat-tempat seumpamanya? Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat. Saya juga pernah pergi ke Bukit Fraser hari itu, saya faham. Jadi, terima kasih Yang Berhormat atas soalan tersebut. Seperti yang saya nyatakan sebentar tadi, MOTAC dan Tourism Malaysia akan pick up, dengan izin dan mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada dalam negara untuk menarik perhatian pelancong dari dalam mahupun luar negara.
Pada masa yang sama, MOTAC turut memainkan peranan dalam memberi khidmat nasihat dan berbincang dengan pihak-pihak terbabit untuk menjadikan sesuatu produk atau lokasi itu boleh berkembang menjadi destinasi tarikan pelancong yang lebih baik. Yang Berhormat, ini bukan sahaja membabitkan pembangunan infrastruktur semata-mata tetapi juga memudahkan pelancong untuk mendapat akses ke sesuatu
kawasan seperti memudahkan keperluan untuk mendapatkan permit masuk ke Taman Negara, hutan simpan dan sebagainya. Pada masa yang sama, kerjasama kementerian dan agensi lain sama ada Persekutuan mahupun negeri diperlukan, lebih-lebih lagi membabitkan pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur. Saya setuju dengan Yang Berhormat yang katakan tadi bagi mempromosikan pakej-pakej aktiviti berbasikal, ia memerlukan permukaan jalan yang baik, tempat berteduh atau berehat yang selamat, laluan dan facility yang baik untuk look-out point dengan izin dan sebagainya. Insya-Allah, pandangan Yang Berhormat ini akan kementerian ini bawa untuk diteliti dan dibincang dengan lebih lanjut dengan kementerian dan agensi lain yang berkaitan termasuklah dengan kerajaan negeri. Berkenaan dengan pembangunan hotel di Bukit Fraser. Saya juga pernah berbincang dan memaklumkan kepada Yang Berhormat mengenai beberapa cabaran yang perlu ditangani dengan baik di situ. MOTAC sememangnya menyokong pembinaan hotel baharu di Bukit Fraser tetapi juga bersetuju bahawa sebarang pembangunan di kawasan ini mestilah tidak menggugat kelestarian dan ekosistem hidupan liar di situ. Kita semua tahu menjadi salah satu tempat terkenal untuk aktiviti bird watching, dengan izin. Justeru, kita akan terus bekerjasama dengan semua pihak agar pelbagai produk pelancongan berkualiti dan menarik dapat dihasilkan dan ditawarkan. Terima kasih.
Ya. Yang Berhormat Bukit Bintang. Ringkas ya.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri. Memandangkan aktiviti berekreasi di Tanah Tinggi mengundang bahaya kepada orang ramai, adakah kerajaan mewujudkan satu skuad penyelamat di tempat-tempat tersebut untuk memastikan bahawa keselamatan sentiasa dijaga? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bintang.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bintang yang bertanya. Mungkin ini boleh dibincangkan dengan kementerian yang lain kerana ia lebih kepada penguatkuasaan. Maka saya akan berbincang dengan kementerian terutama sekali kementerian kerajaan tempatan sebab mereka mempunyai enforcement, dengan izin. Oleh sebab kita tidak mempunyai enforcement yang sebegitu untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan keselamatan di situ. Insya-Allah, kita akan bawa perkara ini kepada kementerian tersebut. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy (Kota Belud). Silakan.
4. Puan Isnaraissah Munirah Majilis [Kota Belud] minta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan adakah Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membenarkan pengeksportan pasir keluar negara terutamanya bagi projek tebatan banjir di muara sungai.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia dengan izin Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih rakan saya dari Yang Berhormat Kota Belud bertanya mengenai pengeksportan pasit ke luar negara terutama di kawasan tempat-tempat banjir muara sungai. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bertanggungjawab terhadap kawal selia dan pembangunan industri mineral termasuklah batu-batan di dalam negara ini. Selaras dengan hasrat untuk meningkatkan kemapanan industri ini di samping mewujudkan suasana perlombongan dan pengkuarian teratur dan mampan. KeTSA ingin memaklumkan mengenai dasar bagi mempertimbangkan sebarang permohonan kelulusan pengeksportan pasir untuk ke luar dan negara ini. Antaranya, pertama, mengeluarkan pasir secara pukal bagi tujuan eksport diutamakan untuk kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlakunya banjir atau kawasan-
kawasan strategik di mana pengeluaran pasir memberi faedah dan memanfaat kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga rakyat secara keseluruhannya. Kedua, pengeluaran pasir juga perlu dijalankan secara teratur dan terkawal bagi mengurangkan risiko kemerosotan terhadap alam sekitar, aktiviti ekonomi setempat dan kawasan-kawasan sensitif. Ketiga, kawalan yang dikenakan terhadap aktiviti pengeksportan meliputi setiap rantaian nilai ekonomi daripada pengeluaran sumber, pemprosesan, pengangkutan sehinggalah kepada pengeksportan dengan keutamaan terhadap pulangan ekonomi dan keperluan pasir bagi kegunaan domestik. Pada masa ini, kerajaan membenarkan pengeksportan pasir sungai sebagaimana yang ditanya oleh Yang Berhormat Kota Belud secara kes demi kes atau, dengan izin case-by-case basis berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh syarikat. Permohonan bagi mendapatkan kelulusan mengeksport pasir sungai akan diproses mengikut satu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KeTSA di mana pemohon perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan sumber pasir sungai atau konsesi daripada pihak berkuasa negeri. Ini kerana mereka mempunyai kuasa dalam hal ini. Kemudian, permohonan akan disemak dan dinilai secara teknikal oleh sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Teknikal Pengeksportan Pasir Ke Luar Negara yang melibatkan beberapa agensi teknikal iaitu Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Kelulusan pengeksportan pasir yang dikeluarkan oleh KeTSA adalah khusus untuk tapak konsesi yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri sahaja berdasarkan kuantiti pasir yang boleh dieksport, destinasi eksport dan tempoh pengeksportan boleh dijalankan. Kementerian sentiasa bersedia dengan mekanisme untuk mengawal selia aktiviti pengeksportan pasir agar dapat mengembalikan kapasiti asal sungai untuk menampung air permukaan dan mengelakkan risiko banjir. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas jawapan. Jadi saya terus spesifik pada Kota Belud kerana punca utama di Kota Belud, biasanya banjir ini berlaku adalah kerana dasar muara sungai untuk sudah terlalu cetek akibat gempa bumi dan even pattern banjir pun di Kota Belud sudah berubah semakin lama tahun demi tahun. Jadi, saya difahamkan pasir di muara sungai ini harganya murah dan susah untuk mencari pembeli kerana tidak sesuai untuk dijadikan construction. So, spesifik untuk Kota Belud, adakah kerajaan bersedia untuk memberikan kebenaran khas khususnya dan memberi pendapatan tambahan kepada Kota Belud untuk berikan lesen pengeksportan pasir ini. Kedua— saya ada beberapa soalan tambahan. Daripada tahun 2020 hingga 2021, berapakah jumlah lesen yang dikeluarkan? Jumlah pasir syarikat dan negeri yang terlibat dalam pengeksportan pasir keluaran negara. Berapakah perolehan kerajaan negeri bagi setiap tan pasir daripada operasi pengeluaran pasir ini? Saya ingin bertanya, adakah Qhazanah Sabah Berhad telah diberikan lesen K2 untuk mengeksport pasir sungai di Kota Belud. Terima kasih.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada rakan saya Yang Berhormat Kota Belud. Untuk makluman Yang Berhormat Kota Belud bahawa Kerajaan Persekutuan sebenarnya telah meluluskan konsesi ataupun kebenaran kepada sebuah syarikat iaitu syarikat yang bernama Warisan Teguh Gemilang Dredging Sdn. Bhd. tetapi bukan Parti Warisan ya. Itu nama syarikat.
Syarikat ini telah diberikan kelulusan untuk mengambil pasir sungai di sungai yang bernama Sungai Abai. Yang Berhormat Kota Belud tentu tahu Sungai Abai di Kota Belud. Akibat daripada tompokan atau lambakan pasir di muara sungai akibat gempa bumi yang berlaku di Kota Belud. Ini dalam maklumat kita. Oleh sebab itulah, kita memberikan kebenaran kepada syarikat ini untuk mengeluarkan sebanyak 3.5 juta metrik tan kepada syarikat ini untuk dikeluarkan pasir. Ini untuk mengelakkan banjir yang berlaku lagi. Untuk makluman Yang Berhormat Kota Belud juga, saya ada maklumat terkini untuk tahun 2021, kerajaan telah mengeluarkan lesen mengeksport pasir keluar negara kepada 29 syarikat termasuklah Warisan Teguh Gemilang Dredging Sdn. Bhd. itu diberikan kebenaran untuk dikeluarkan. Jumlah kuantiti untuk diluluskan adalah sebanyak 455,349,439 metrik tan untuk 29 syarikat ini.
Untuk Syarikat Khazanah Sabah berkenaan sama ada ada kelulusan, saya hendak maklum bahawa belum ada kelulusan lagi. Kita boleh mempertimbangkan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditentukan. Untuk hasil kepada kerajaan negeri, saya mohon izin untuk mendapat makluman. Saya tidak ada maklumat pada masa ini Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua Libaran.
Merbok.
Yang Berhormat Libaran. Yang Berhormat Libaran, sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Antara sungai yang selalu paras airnya pada paras bahaya ialah Sungai Padas yang menyebabkan banjir di daerah Beaufort. Soalan saya, bolehkah kementerian membuat kajian segera ke atas masalah ini dan laksanakanlah pengorekan sungai yang semakin cetek ini dan keluarkan pasir dari sungai tersebut. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Ya, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Libaran yang mengemukakan soalan tambahan. Memang KeTSA sentiasa mengadakan kajian-kajian terhadap kawasan-kawasan termasuk sungai yang mempunyai risiko boleh menyebabkan banjir disebabkan oleh longgokan ataupun lambakan pasir di muara sungai termasuklah di Sungai Padas di Beaufort yang sering kali mempunyai ataupun mengalami banjir. Namun yang demikian Yang Berhormat Libaran, saya hendak maklumkan bahawa untuk Sungai Padas ini dan juga sungai-sungai lain, untuk mengorek sungai ini ia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan ia dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Namun, demikian kajian-kajian risiko boleh diadakan dan dijalankan oleh beberapa jabatan di bawah KeTSA sendiri termasuklah Jabatan Mineral dan Geosains dan juga jabatan-jabatan lain yang berkaitan di bawah seliaan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) yang berdasarkan kepada beberapa akta termasuk Akta Pelantar Benua. Ini kalau sekiranya di luar wilayah perairan negeri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua, boleh kalau satu soalan lagi?
Ringkas Yang Berhormat Merbok.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya meneliti jawapan Menteri dan juga saya merujuk kepada jawapan Menteri pada 15 Julai 2020, soalan lisan yang ada menyatakan bahawa pengelasan pasir yang dikendalikan oleh kementerian itu adalah pasir sungai, pasir laut, pasir lombong, pasir pantai dan pasir silika. Akan tetapi yang boleh membuat pengeksportan itu adalah pasir sungai sahaja. Soalan saya, tadi ada sebut fasal digunakan di domestik tetapi Menteri ada menyebutkan di sini jawapan Menteri, “...membenarkan pengeksportan pasir sungai ke negara-negara
yang mempunyai hubungan dagangan dengan Malaysia contohnya India, Hong Kong, Taiwan, China dan lain-lain...”. Jadi mohon penjelasan. Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya dari Merbok atas soalan tersebut. Saya ingin memaklumkan bahawa sebenarnya pengeksportan pasir daripada negara kita ke luar negara juga melibatkan pasir laut, bukan sahaja pasir sungai. Saya hendak beritahu sedikit dalam perkembangan ini. Pada 3 Oktober 2018 iaitu semasa pemerintahan Pakatan Harapan, Kabinet telah mengadakan larangan terhadap pengeksportan pasir laut dalam wilayah pengairan negeri ataupun di pelantar benua. Akan tetapi pada 19 Oktober 2018, Kabinet pada masa itu telah memberikan satu pengecualian kepada satu syarikat untuk membuat projek penambakan laut di negara Brunei Darussalam. Ini ada exceptional approval, dengan mengambil pasir laut dalam di luaran perairan pulau Labuan. Jadi inilah dasar yang digunakan oleh kerajaan sekarang ini iaitu kerajaan membenarkan pengeksportan pasir termasuk pasir laut ini berdasarkan case-by-case basis dan ia telah– saya mempunyai senarai panjang mengenai syarikat- syarikat yang diberikan pengecualian untuk mengeksport ini termasuklah Axis Stream tadi. Banyak sekali Tuan Yang di-Pertua, saya boleh bagi secara bertulis kalau dikehendaki oleh Yang Berhormat. Akan tetapi, pokoknya pengawalan terhadap eksport pasir ini dilaksanakan secara teratur dan sistematik supaya ia tidak disalahgunakan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Silakan Yang Berhormat Dato’ Haji Salim Sharif.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sektor pertanian fokus utama, Golongan belia perlu dipikat, Soalan lima sedang dinanti, Mohon Menteri untuk menjawab. Terima kasih.
5. Dato' Haji Salim Sharif [Jempol] minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan pelan strategik untuk meremajakan sektor pertanian agar dapat menarik minat generasi belia dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Golongan muda adalah merupakan pewaris negara dalam memajukan sektor agromakanan. Dalam perkara ini, MAFI bertanggungjawab untuk memastikan supaya pengeluaran makanan negara adalah sentiasa berterusan dengan didasari oleh penglibatan golongan muda untuk kesejahteraan masa hadapan kita bersama. Hakikatnya, kita sedang menghadapi dan sedang mendepani isu utama iaitu dengan izin, ageing farmers dan kesukaran untuk menarik golongan ini bagi mengadaptasi Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR). Sehubungan itu, MAFI melalui Dasar Agromakanan Negara memberikan perhatian khusus bagi memastikan supaya persekitaran yang kondusif bagi meningkatkan penglibatan dan mengekalkan golongan muda dalam sektor pertanian serta membina tenaga kerja masa hadapan dalam menghasilkan makanan yang mencukupi. Tuan Yang di-Pertua, antara pelan tindakan yang ditetapkan bagi menarik dan mengekalkan bakat-bakat muda dalam sektor pertanian adalah: (i) untuk menjenamakan semula agromakanan dengan pertanian moden, untuk menggalakkan penglibatan bakat muda seperti mekanisasi automasi dan juga IOT bagi meningkatkan pengeluaran dan sekali gus peningkatan pendapatan;
(ii) mewujudkan sumber tenaga industri yang optimum melalui pengintegrasian siswazah dan pekerjaan sebenar dengan latihan amali dan juga perantisan; dan (iii) meningkatkan pendedahan generasi muda kepada aktiviti pertanian melalui pendidikan yang bersasar. MAFI juga sedar bahawa golongan muda lebih terbuka menerima teknologi terutamanya dalam era IR4.0. Oleh itu, MAFI telah merancang untuk membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sektor pertanian melalui tindakan seperti berikut: (i) untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja bagi tujuan data analytics untuk perancangan tenaga kerja; (ii) menggalakkan dan memudahkan cara universiti dan juga pakar tempatan untuk menerima pakai program latihan yang holistik; (iii) membangunkan modal insan dan kepakaran untuk menyokong pelaksanaan teknologi baharu; (iv) menyediakan platform biasiswa dalam bidang agromakanan; (v) menaik taraf Pusat Latihan Agromakanan dan universiti dengan kemudahan dan kelengkapan moden ICT dan juga rangkaian; (vi) untuk membangunkan program peralihan untuk siswazah bukan pertanian bagi mereka yang berminat untuk menceburi sektor agromakanan; dan (vii) melatih dan menggaji siswazah TVET sebagai ejen pemindahan teknologi. Bukan itu sahaja Tuan Yang di-Pertua, bagi menyokong pelan tindakan ini MAFI juga turut meneruskan pelaksanaan Program Agropreneur Muda yang terbukti berjaya membantu golongan muda dalam bidang pertanian melalui Program Bantuan Geran, pinjaman dan juga latihan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang menjawab yang cukup lengkap. Hampir satu buku menjawab soalan tadi, terima kasih. Menurut KSU MAFI pada November 2021 yang lepas hanya sekitar 15 peratus sahaja daripada 1.4 juta belia yang terlibat dalam bidang pertanian. Baru-baru ini juga Ketua Pengarah Pegawai Kawalan Padi dan Beras telah mendedahkan bahawa terdapat 200 orang petani import iaitu dari Bangladesh dan juga Rohingya yang telah mengusahakan tanaman padi dan ada antara mereka yang bergelar ‘tauke besar’.
Hal ini sudah tentunya berkait rapat dengan kekurangan penglibatan golongan belia dan juga petani tempatan yang sudah mula menunjukkan sikap tidak berminat untuk terlibat dalam sektor pertanian. Selain sektor padi, saya berpendapat bahawa sektor lain juga turut berlaku perkara yang serupa. Soalan saya, apakah pelan intervensi kementerian sekiranya warga tempatan khususnya golongan belia terus menjauhi sektor pertanian negara? Apakah langkah yang sedang dirangka bakal dilaksanakan oleh kementerian untuk memastikan individu yang sedang melibatkan diri dalam sektor pertanian pada hari ini terus diperkasakan? Mohon Timbalan Menteri untuk menjawab. Terima kasih.
Terima kasih. Silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Jempol.
[Bangun]
Pertama Tuan Yang di-Pertua, apabila beliau membangkitkan penglibatan pendatang asing, saya fikir saya sudah jawab soalan itu pada dua minggu yang lepas.
[Bangun]
Keduanya, Yang Berhormat telah menyebutkan tentang 15 peratus sahaja penglibatan petani-petani muda dalam sektor pertanian. Sebenarnya perangkaan ini adalah perangkaan tahun 2018 dan penglibatan ini terus meningkat apabila kita telah memperkenalkan Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang benar-benar telah menepati bukan sahaja untuk jangka masa pada ketika ini dengan memperkenalkan daripada automasi, mekanisasi dan juga IoT tadi. Sebenar-benarnya bukan sahaja boleh meningkatkan pengeluaran, bahkan sekali gus untuk mendapatkan peningkatan pendapatan mereka.
[Bangun]
Ini kerana perangkaan tahun 2018 telah menunjukkan bahawa kalau kita tengok daripada purata pendapatan pekerja, upah hanyalah 60 peratus daripada hitung panjang, jumlah upah untuk seluruh negara pada tahun 2018. Akan tetapi apa yang kita harapkan kepada mereka usahawan-usahawan petani ini untuk menjadi usahawan tani dan bukan sahaja dapat memberikan pendapatan yang lumayan bahkan ia pendapatan yang cukup meyakinkan sekali. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Yang Berhormat Padang Serai.
Terima kasih.
Mikrofon, mikrofon.
Siapa?
[Gangguan sistem pembesar suara]
Tidak dengarlah.
Sudah tekan dah.
Ya, tertutup.
Soalan tambahan Padang Serai, kita tidak menafikan yang kerajaan melalui MAFI telah menyediakan bantuan-bantuan khususnya sama ada dalam bentuk kewangan in kind mahupun perkhidmatan nasihat kepada golongan muda yang mahu memulakan projek. Namun, pihak MAFI juga sepatutnya tidak boleh melupakan atau mengambil sikap lepas tangan terhadap kumpulan yang mahu mengembangkan lagi projek-projek mereka. Soalan saya, apakah bentuk-bentuk bantuan lain yang boleh diberikan kepada usahawan-usahawan muda ini bagi mengembangkan lagi projek-projek pertanian sedia ada? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Timbalan Menteri.
Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Antara inisiatif yang sentiasa diuar-uarkan oleh pihak MAFI bagi menarik golongan muda menyertai bidang pertanian, pertamanya, kita bukan sahaja untuk menarik ataupun membantu mereka untuk menjadi seorang usahawan tani, bahkan kita telah memberikan banyak bantuan dan insentif. Pertamanya kepada program Geran Padanan High Impact Product (HIP) di mana kita akan berikan satu geran padanan sebanyak 50:50. Maksimumnya sampai sebanyak RM200,000. Ini untuk SME. Keduanya, ada satu program lagi untuk Program Change Upgrade Product (CUP). Ini juga geran padanan tetapi kali ini kita beri kepada usahawan-usahawan kecil sebanyak 70 peratus yang dibiayai oleh kerajaan dan 30 peratus yang dibiayai oleh pengusaha tersebut. Ia maksimum sebanyak RM60,000.
Ketiganya untuk golongan agropreneur muda pula, kerajaan memberikan geran sebanyak RM20,000. Ini secara in kind dan kalau ada pengembangan, kita akan beri juga pembiayaan melalui TEKUN dan juga melalui Agrobank sehingga RM500,000. Ini sebenarnya antara insentif-insentif yang telah disediakan selain daripada insentif-insentif lain yang disediakan oleh MAFI. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Yang Berhormat Lembah Pantai, silakan.
6. Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil [Lembah Pantai] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan perkembangan terkini usaha Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam merealisasikan visi ‘Nada Digital ASEAN’ khususnya bagi menarik pelabur-pelabur digital asing dan mewujudkan pekerjaan bagi bakat-bakat setempat, selari dengan Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, SKMM melalui agensinya Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sentiasa komited dalam melaksanakan agenda pembangunan negara khususnya berkaitan membangunkan ekonomi digital negara selaras dengan dasar dan hala tuju kerajaan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL). Strategi utama MDEC dalam mencapai visi Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN adalah dengan menumpukan usaha pembangunan terhadap empat fokus utama: (i) kemahiran baharu (new skill); (ii) penerimaan (adoption); (iii) pengganggu (digital ScaleUp). Pengganggu ini maknanya contoh teksi ada Grab; dan (iv) pelaburan (investment). Empat fokus utama ini melibatkan pelbagai program yang telah dan sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran yang telah digariskan di bawah MyDIGITAL terutama dalam membantu mencapai sumbangan ekonomi digital kepada KDNK. Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, sasaran sumbangan ekonomi digital KDNK adalah 25.5 peratus menjelang tahun 2025 yang boleh dicapai menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pendigitalan. MDEC juga telah mengumumkan strategi pelaburan Digital Future5 (DIF5) iaitu rancangan lima tahun yang memfokuskan kepada lima teras utama untuk menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital negara. Sasaran DIF5 menyasarkan pelaburan RM50 bilion, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam industri digital, menarik 50 syarikat teknologi Fortune 500 untuk beroperasi di Malaysia, membolehkan lima unicorn global beroperasi di negara ini dan fokus kepada lima sektor industri utama, lima teknologi utama, lima teknologi baharu muncul dalam perkhidmatan perniagaan global digital. Dalam mencapai sasaran MyDIGITAL untuk mewujudkan sebanyak 50,000 peluang pekerjaan, MDEC terlibat secara langsung dalam usaha menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan dalam sektor ekonomi digital. Di samping itu, MDEC juga melaksanakan pelbagai inisiatif dan program seperti program MyDIGITALWorkforce Work in Tech (MYWiT), Program Premier Digital Tech Institutions, Digital Skill Training Directory serta program di peringkat sekolah melalui program MyDigitalMaker yang menyediakan peluang peningkatan kemahiran kepada tenaga kerja masa hadapan dalam sektor dan bidang digital ini. Bagi menggalakkan penerimaan dan penggunaan digital, MDEC juga melaksanakan inisiatif seperti kempen e-dagang termasuk Go-eCommerce Onboarding, Shop Malaysia Online serta program latihan termasuk eUsahawan dan Program Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS) yang dilaksanakan bagi menggalakkan
penggunaan platform e-dagang serta Techno Digital yang disasarkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Sedikit lagi. MDEC juga melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program Gateway, Amplify, Invest, and Nurture (GAIN), yang memberikan bantuan khidmat nasihat kepada kepakaran syarikat tech start-up untuk mengembangkan pasaran, akses kepada dana dan modal promosi dan pembangunan perniagaan dan produk. Program-program yang dijalankan selaras dengan sasaran di bawah MyDIGITAL untuk menjadi pemangkin kepada 5,000 buah syarikat peringkat permulaan atau start-up dalam usaha lima tahun akan datang. Terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Lembah Pantai.
Terima kasih. Banyak Yang Berhormat Timbalan Menteri sebutkan tadi lima, lima, lima tetapi lima perkara pun saya tidak faham apa yang – soalan yang saya tanya macam tidak terjawab sebab tadi saya tanyakan perkembangan terkini. Bermaksud daripada segi pelaburan berapa banyak pelaburan yang telah masuk. Daripada 50 buah syarikat teknologi Fortune 500 ini berapa banyak yang telah kita cuba pikat, contohnya. Sebenarnya kalau Yang Berhormat Timbalan Menteri menyebut tentang lima, lima, lima ini, sebenarnya kita ada lima halangan terbesar untuk mencapai matlamat ini.
Kalau boleh, salah satu yang menjadi masalah terbesar ialah termasuklah isu monopoli spektrum 5G oleh 1MDB. Eh! 1MDB pula, oleh DNB. [Disampuk] Ada kaitan dekat situ kan? Akan tetapi persoalan saya, kalau Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh jelaskan, setakat ini, berapa banyak pelaburan yang telah kita berjaya peroleh kerana sasaran itu besar dan antara halangan yang menjadi punca kepada sukarnya kita menarik minat syarikat-syarikat besar masuk ke Malaysia. Apakah yang akan dilakukan oleh khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia? Contohnya, dengan menggunakan cara lain untuk roll out 5G, bukan melalui DNB contohnya. Terima kasih. [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan
Sila Timbalan Menteri, satu minit.
Terima kasih Yang Berhormat., Tadi Yang Berhormat tanya tentang macam mana nak merealisasikan visi nada digital ASEAN ini. Ini sebab untuk pengetahuan Yang Berhormat, kita MDEC dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kita beri servis. Maknanya servis, kita latih dan sebagainya dan kita beri bantuan syarikat-syarikat yang nak melabur. Jadi, kalau pelaburan itu, dia kena pergi ke MITI, MIDA. Kita ada program bersama, tetapi maknanya datanya ada di sana. Jadi kalau boleh Yang Berhormat, kita minta tanya kepada MITI, pelaburan-pelaburan yang masuk dan kita bagi servis. Kita bagi platform terutamanya Yang Berhormat kata tadi, okey 5G. Kita nak kalau boleh, 5G kita ini dipercepatkan sebab banyak negara dah ada 5G dah. Sudah laju dah semua dan kita masih lagi ke belakang. Kalau kita tengok daripada segi ASEAN, kita masih ke belakang. Jadi, saya setujulah. Jadi 5G ini, sebab itu tadi Yang Berhormat tanya tentang 5G, kita bagi tahu 5G ini Kementerian Kewangan ambil dia. Dia buat 5G di bawah Kementerian Kewangan. Kita hanya sediakan spektrum sebab spektrum ini, Parlimen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia telah memberi tugas kepada kementerian ini untuk menyediakan spektrum dan sebagainya. Cuma nak menyelaras itu, kita menyelaras itu, maknanya kita panggil telco- telco, macam mana nak pakat dengan DNB. Ini sebab DNB monopoli.
Kita pun sedar bahawa kementerian pun dah tanya, dah berjumpa dengan DNB. Kita kata dasar negara kita ini tak nak monopoli, tetapi alasan Kementerian Kewangan, kerana mereka nak menyelaraskan 5G ini dan mereka harap mereka tak mahu bagi kepada telco-telco yang lain, cuma mereka akan menyelaras dengan telcos. Jadi, kita terimalah sebab ini arahan Kementerian Kewangan. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Timbalan Menteri. Soalan tambahan kedua, sila Yang Berhormat Pontian.
Terima kasih. Tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri ada menyebut bahawa MDEC ini ada terlibat tentang e- dagang. Soalan saya, adakah MDEC bercadang supaya diwujudkan pasar borong digital yang diusahakan oleh MDEC, supaya nelayan ada pasar borong digital, penanam sayur ada pasar borong digital, penternak ada pasar borong digital bagi kita menghentikan kegiatan orang tengah yang mengambil keuntungan berlipat ganda sehingga menyebabkan kenaikan harga barang. Apa pandangan Yang Berhormat Timbalan Menteri mengenai pasar borong digital dikendalikan oleh MDEC?
Terima kasih Pontian. Sila Menteri, satu minit.
Okey. Terima kasih Yang Berhormat Pontian. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Pontian, nelayan dah ada. Akan tetapi, cadangan Yang Berhormat itu ada permohonan daripada syarikat untuk membuat pasar borong dan untuk harapkan kerjasama dengan MDEC, kita tengah usahakan. Akan tetapi untuk pengetahuan Yang Berhormat Pontian, apabila kita buka platform, maka bergantung pada pihak-pihak yang hendak memasarkan itu masuk platform tersebut. Akan tetapi, kadang-kadang kita lihat kebanyakannya mereka tak masuk. Jadi, kita nak kena panggil dan ini memerlukan satu proses. Akan tetapi, cadangan itu kita akan cuba laksanakan. Terima kasih Yang Berhormat Pontian.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Pertanyaan jawab lisan seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi, Igan.
7. Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi [Igan] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan sekolah di Sarawak yang sering mengalami masalah banjir khususnya di tepi sungai dan sejauh manakah masalah penggabungan sekolah dapat diselesaikan serta apakah masalah- masalah yang dihadapi.
Tuan Yang di- Pertua, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited dalam usaha menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua murid di seluruh negara. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, KPM telah mengenal pasti sebanyak 230 sekolah di negeri Sarawak yang berdekatan dengan sungai. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 137 sekolah dilaporkan sering mengalami banjir. Dalam usaha untuk menyelesaikan isu penggabungan sekolah yang sering menghadapi banjir, KPM sentiasa berterusan akan melaksanakan sesi libat urus bersama- sama pihak sekolah dan pemegang taruh. Sesi libat urus ini bertujuan bagi mendapatkan maklum balas dan persetujuan terhadap cadangan perpindahan dan penggabungan sekolah. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, usaha penggabungan sekolah yang sering menghadapi banjir ini berhadapan dengan cabaran-cabaran seperti berikut. Pertama, kebanyakan sekolah yang terlibat dengan masalah banjir terletak dalam kawasan kampung yang juga berhampiran dengan sungai. Keduanya, kesukaran untuk menghantar anak-anak ke sekolah induk disebabkan pertambahan kos pengangkutan atau kemudahan akses. Ketiga, kesukaran mendapat persetujuan 100 peratus ibu bapa atau penjaga. KPM akan terus meneliti pendekatan yang terbaik bagi memastikan kapasiti sekolah dan sumber pendidikan di seluruh negara dapat dioptimumkan. Terima kasih.
Soalan tambahan pertama, Igan. Sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan. Yang Berhormat Timbalan Menteri, ada dua isu yang saya bangkitkan dalam soalan asal saya iaitu isu sekolah banjir dan isu penggabungan sekolah. Yang Berhormat Timbalan Menteri, kalau mengikut statistik yang saya peroleh, ada 216 buah sekolah di Sarawak yang sering dilanda banjir. Data dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak juga telah mengenal pasti 263 buah sekolah yang boleh digabungkan menjadi 49 buah sekolah. Ini kerana ada 190 buah sekolah di Sarawak yang muridnya kurang daripada 50 orang. Soalan saya Yang Berhormat Timbalan Menteri, sejauh manakah tindakan Kementerian Pendidikan dalam mengatasi masalah sekolah banjir ini? Berapa buah sekolah yang akan dibina baharu di tempat yang lebih sesuai dalam RMKe-12 nanti? Begitu juga mengenai penggabungan sekolah, apakah perancangan, tindakan pihak Kementerian Pendidikan? Berapa buah sekolah yang telah dan akan digabungkan dalam RMKe-12? Saya memerlukan jawapan yang terperinci Yang Berhormat Timbalan Menteri kerana kedua-dua isu ini sudah sering dibangkitkan di Dewan yang mulia ini. Apakah sudah ada master plan jangka panjang untuk mengatasi masalah ini? Kalau boleh, saya mohon jawapan secara bertulis kalau tiada perinciannya. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Igan, sila Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Igan. KPM menyedari terdapat sekolah kerajaan yang berisiko dan sering dilanda banjir sepertimana yang telah saya nyatakan tadi. Bagi mengatasi masalah tersebut, sejumlah 32 buah sekolah yang berisiko seperti sekolah berhampiran dengan sungai, banjir dan mengalami hakisan tebing telah diluluskan dalam projek RMK dan projek lain-lain untuk gantian penuh di tapak baharu seperti berikut. Bagi RMKe-10, sebanyak 10 buah sekolah, RMKe-11 sebanyak 13 buah sekolah, RMKe-12 RP1 tiga buah sekolah, projek sekolah daif RM1 bilion sebanyak dua buah sekolah, projek CSR Pan Borneo Highway, sebuah sekolah. Selain itu, sebanyak 86 buah sekolah yang menghadapi masalah banjir telah diselenggara dan dinaik taraf di bawah projek seperti berikut. Projek IBS 2016 dan 2019 - 41 buah sekolah, Projek Sekolah Daif RM1 bilion – 45 buah sekolah. Manakala dalam RMKe-12/RP2 Tahun 2022, KPM telah diluluskan sembilan projek perolehan tapak baharu bagi menggantikan sekolah berisiko tersebut di negeri Sarawak. Daripada jumlah tersebut, terdapat sebuah sekolah atau satu projek perolehan tapak SK Batang Lassa yang terletak di Parlimen Igan telah diluluskan dalam RMKe-12, RP2. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan kedua, saya jemput Yang Berhormat Papar.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan dan masalah yang dihadapi oleh Igan ini sama dengan masalah yang dihadapi di Parlimen Papar, di mana saban tahun sekolah-sekolah rendah dan juga tabika akan mengalami kebanjiran. Di sinilah banyak perabot, buku-buku, kerusi, landskap sekolah, begitu juga sampah-sampah akan kita lihat di merata-rata. Jadi, saya ingin bertanya kepada kementerian, adakah kementerian bercadang ingin menubuhkan satu pasukan sukarela di sekolah tersebut yang akan dianggotai oleh guru-guru dan juga ibu bapa untuk menangani setiap masalah berkenaan dengan banjir.
Kedua, adakah kementerian juga bercadang untuk memberi sedikit imbuhan ataupun peruntukan supaya mereka ini dapat menyelesaikan seperti membaik pulih perabot-perabot yang rosak, landskap-landskap yang rosak dan juga bermacam-macam lagi. Jadi, sekian terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Papar. Jadi, memang banyak usaha yang— dan sentiasa kita laksanakan untuk memastikan keselesaan dan kemudahan murid dan guru terpelihara. Jadi ke arah tersebut, sudah tentunya apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Papar itu akan kita pertimbangkan, jadi mengikut kesesuaian. Terima kasih.
8. Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh [Ledang] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan: (a) peranan kementerian, Digital Nasional Berhad (DNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi dalam pembangunan ekosistem 5G negara; dan (b) apa tindakan kementerian dalam memantau pelaksanaan ekosistem 5G ini bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Ledang. Untuk makluman Yang Berhormat, soalan 5G ini banyak dibangkitkan dan banyak persoalanlah. Jadi, untuk pengetahuan Yang Berhormat, kita akan panggil DNB ini untuk memberi penerangan kepada Ahli Parlimen. Itu Yang Berhormat Menteri sudah beritahu kepada DNB. Jadi, saya hendak beritahu Yang Berhormat, antara peranan dan tanggungjawab beberapa pihak yang terlibat dalam kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Digital Nasional Berhad dan syarikat-syarikat telekomunikasi 5G adalah seperti berikut: (i) MOF dan Menteri Kewangan Diperbadankan bertanggungjawab atas isu dasar dan pemilikan DNB serta bertanggungjawab atas perkara-perkara berkaitan pengurusan dan perbadanan DNB sebagai sebuah syarikat milik MOF Incorporation. Pengerusinya ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan (ii) KKMM dan SKMM bertanggungjawab untuk menyelia pengoperasian DNB sebagai pemegang lesen network facility provider (NFP) dan network service provider (NSP). Tadi, semua syarikat yang terlibat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan juga MCMC mesti mendapatkan lesen network service provider dan network facility provider serta menetapkan Dasar Industri Komunikasi berdasarkan kuasa dan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Ini termasuk mengambil tindakan kepada DNB sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melanggar syarat-syarat lesen yang ditetapkan. SKMM juga mengawal selia penggunaan spektrum bagi perkhidmatan 5G. Spektrumnya ialah spektrum daripada MCMC. Jadi, saya hendak beritahu, DNB ini sebuah syarikat milik penuh MOF Incorporation yang telah diumumkan sebagai syarikat tujuan khas kerajaan bagi pelaksanaan 5G negara. DNB diberikan lesen NFP dan NSP oleh pihak SKMM untuk beroperasi dengan sebuah syarikat telekomunikasi. DNB bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan dan pengoperasian rangkaian 5G serta membangunkan ekosistem 5G. Syarikat telekomunikasi lain, syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan dan berlesen di bawah SKMM berperanan sebagai pemberi perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna. Jadi maknanya, runcit ini ialah syarikat-syarikat telco yang sedia ada. Syarikat- syarikat pemberi perkhidmatan ini akan didapati akses kepada 5G secara borong daripada DNB. Jadi, mereka ini kena dapat pula spektrum daripada DNB. Baru mereka boleh membuat operasi serta mewujudkan pakej-pakej perkhidmatan kepada pengguna, termasuk perkhidmatan khusus pengguna, perusahaan, enterprise dan lain-lain.
Jadi soalannya, antara tindakan kementerian dalam memantau pelaksanaan 5G ini ialah kita lihat, kita panggil telco-telco, macam mana hendak bekerjasama dengan DNB ini. Kementerian juga telah pun mencadangkan kepada DNB supaya bekerjasama dengan Telekom Malaysia dan juga syarikat-syarikat negeri yang ada tower. Jadi, bekerjasama dengan mereka sebab kalau syarikat DNB ini baru tubuh, apa pun tidak ada, tiang pun tidak ada satu pun, jadi kena bekerjasama. Ini kita bagi arahan kepada DNB. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan tadi. Saya dengar tadi untuk— cadangan supaya dipanggil segera DNB untuk memberikan taklimat ataupun maklumat dalam Parlimen. Saya minta dilaksanakan dengan seberapa segera dalam sesi Parlimen sekarang. Yang Berhormat Timbalan Menteri, satu lagi perkara yang saya rasa kita kena jelas daripada penjelasan tadi ialah ini matlamat besar negara berkenaan dengan 5G. Kalau lihat laporan yang dibuat oleh Ernst & Young berkenaan dengan potensi impak masa depan kepada ekonomi Malaysia. Dengan pelaksanaan 5G ini, mereka mengatakan bahawa ia akan meningkatkan KDNK Malaysia sebanyak lima peratus. Boleh sokong penciptaan peluang pekerjaan, boleh tingkatkan peratusan pekerjaan yang berkemahiran, boleh rapatkan jurang digital, ketersambungan antara luar bandar, desa dan bandar dan juga keterangkuman (inclusivity). Jadi, perkara-perkara macam ini memang nampaknya begitu baik. Namun, dengan perkembangan terkini bahawa syarikat telekomunikasi dan pemain-pemain industri yang lain telah mempersoalkan berkenaan dengan ketelusan dan harga borong. Pada masa yang sama, kerajaan pula sedang kaji semula model single wholesale network yang dicadangkan itu. Maka soalan saya, apakah ada laporan daripada Ernst & Young berkenaan dengan backup plan sekiranya model ini gagal ataupun dibatalkan? Apakah ada model- model lain yang dicadangkan? Seperti misalnya, dual network ataupun ada dua konsortium ataupun satu konsortium. Apakah implikasi kewangan serta jadual projek sekiranya model ini dibatalkan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat yang begitu concerned tentang 5G ini. Saya pun bersetujulah dengan Yang Berhormat sebab 5G ini cukup penting. Akan tetapi apabila kita dipanggil oleh Kementerian Kewangan untuk memberi kelulusan kepada DNB, tanpa- kita tidak bincang pun. Tiba-tiba Kementerian Kewangan panggil, kena beri pada DNB. Selepas itu kita persoalkan- kita memanglah persoalkan, apabila kita bagi pada DNB tentang harga sebab bagi DNB spektrum, DNB jual pula pada telco. Jadi, makna dua kali ganda peningkatan. Akan tetapi DNB memberi jaminan bahawa harganya lebih murah daripada 4G dan lebih murah daripada sekarang. Sekarang pun telecommunication— maknanya, bil-bil apa pun kalau kata— maknanya, caj kita pun lebih murah tetapi ia hendak bagi murah lagi. Itu jaminan DNB kepada kita. Maknanya, ia ambil syarikat itu, ia jual pula pada telco, ia boleh bagi murah lagi. Jadi, ini satu benda yang cukup ajaib dan kita terima. Jadi, kita terpaksa bersetuju. Terima kasih.
[Dewan riuh]
Yang Berhormat Timbalan Menteri Komunikasi, tidak berkomunikasi dengan Kementerian Kewangan kah? Komunikasi, kena komunikasi lah, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Yang Berhormat Bayan Baru, hendak bercakap kena dapat permission Speaker, Yang Berhormat Bayan Baru.
Terima kasih. Ia macam ini, minta terang dahulu. Kita terang dahulu keadaan yang berlaku. Jadi, sebab itu kita jumpa dengan DNB. Bukan DNB panggil kita, kita cari ia jumpa sebab kita hendak komunikasi seperti Yang Berhormat kata itu. Oleh sebab apabila tidak ada komunikasi, Kementerian Kewangan terus buat, kita kena terima. Jadi, kita jumpa dia.
Jadi, kita beritahu pertama sekali, minta kerjasama dengan Telekom Malaysia sebab Telekom sudah ada backbone, sudah ada backhoe dan sebagainya. Kita kena kerjasama. Oleh sebab kalau betul hendak buat itu, kita tidak nampak kenapa hendak buat? DNB tidak ada apa-apa pun. Maknanya, tubuh syarikat, panggil Ralph Marshall, terus buat 5G— CEO. Jadi, kita tanya, macam mana penglibatan bumiputera? Kenapa tidak kerjasama dengan Telekom? Jadi, apabila kita...
Kalau ia tidak ada apa-apa, macam mana ia boleh dapat?
Apa dia?
Kalau ia tidak ada apa-apa, macam mana ia boleh dapat? Ini kena tanya Yang Berhormat Menteri Kewangan.
Itu kena tanya Yang Berhormat Menteri Kewanganlah. [Ketawa]
Baik, Yang Berhormat Lembah Pantai...
Jadi, macam contoh tadi Yang Berhormat tanya, tanya tentang pelaburan. Kita tidak buat pelaburan sebab ini kerja MITI. Kerja kita telekomunikasi. Akan tetapi Kementerian Kewangan hendak buat kerja telekomunikasi, kita bagilah ia buat. Kita bagi ia buat dan kita cuba tanya ia, kita cuba kerjasama dengan ia. Maknanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia cuba komunikasi dengan DNB. Okey, bumiputera macam mana? Backbone macam mana? Macam mana hendak realisasikan? Macam mana spektrum ini hendak dijual? Oleh sebab banyak telco complain, spektrum bagi pada ia, ia hendak dapatkan ini. Oleh sebab itu, saya setuju kalau kata kita hendak percepatkan, kita bagi pada telco sahaja. Maknanya, Telekom dapat spektrum, Celcom dapat spektrum, Digi dapat spektrum, terus buat. So, cepatkan sebab mereka sudah ada backbone. [Tepuk]
Baik.
Akan tetapi apabila DNB hendak buat, ia kata sebab alasannya— saya bagi alasan ini, supaya kita fair dengan DNB. Ia bagi alasan 4G belum siap yang telco buat. Jadi, 5G ia hendak buat. Jadi maknanya, okey kita terima alasan tersebut sebab ia hendak control 5G.
Baik. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Baik. Soalan tambahan yang kedua, saya jemput Yang Berhormat Tebrau.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tadi punya perbincangan semua mengenai isu-isu besar. Sekarang saya hendak alihkan kepada soalan-soalan daripada orang biasa.
Jadi, saya ingin bertanya Yang Berhormat Timbalan Menteri, apa kesannya kepada orang biasa yang sekarang pun tidak mampu untuk membeli peranti 4G, apa lagi untuk beli 5G. Jadi beberapa dekad semua pemancar yang akan dibina, adakah ini mengancam kesihatan rakyat biasa dan adakah pemancar-pemancar yang dibina ini akan merosakkan keindahan alam sekitar? Sila jawab, terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Tebrau. Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Okey, terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Ini saya hendak bagi penerangan ini. Pertama sekali, kita sebut tadi 5G ini kawasan
economic, maknanya kawasan yang penduduk tinggi ada aktiviti ekonomi yang tinggi, kawasan industri, kawasan-kawasan tumpuan yang kita hendak buat mula-mula ini. Oleh sebab saya setuju kalau kita buat semua tempat maknanya kita lebih cepat untuk tambahan ekonomi kita kepada KDNK, kita setuju tetapi ia masalah kepada penduduk. Yang Berhormat Tebrau kata tadi, masalahnya peranti-peranti yang lama sudah tidak boleh pakai. Jadi kalau maknanya Yang Berhormat sekarang ini ada peruntukan bolehlah kita bagi peranti percuma kepada orang-orang kampung yang orang panggil dahulu tiga-tiga-sekupang dan sebagainya. Phone yang tidak boleh digunakan lagi kalau ada 5G.Oleh sebab itu sekarang ini kita tumpu kawasan-kawasan industri tinggi untuk kita buat 5G. Di samping itu juga, kita tengah merancang sekarang ini— untuk pengetahuan Yang Berhormat. Ada satelit dan kita merancang satelit dan ada proposal sekarang ini 6G, satelit 6G hendak masuk tenaga ini. Jadi kita berbincang pihak swasta kalau sanggup buat, kita bersetuju supaya kita bukan sahaja 5G, 6G satelit satu negara dapat. Jadi ini yang kita tengah usahakan. Terima kasih, Yang Berhormat.
Terima kasih. Soalan jawab lisan seterusnya saya jemput Yang Berhormat Kuala Nerus, tidak ada dalam Dewan. Seterusnya saya menjemput yang Yang Berhormat Tuan Cha Kee Chin (Rasah). [Soalan No. 9 – YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali (Kuala Nerus) tidak hadir]
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua atas peluang. Sebelum saya kemukakan soalan, saya mohon ada pindaan sedikit terhadap soalan ini sebab ada typo error, “Mac 2020” sebenarnya “Mac 2022”. Saya kemukakan soalan nombor 10. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
10. Tuan Cha Kee Chin [Rasah] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan apakah telah menjadi pendirian kerajaan bahawa sesi persekolahan baru akan bermula pada bulan Mac setiap tahun, seperti mana yang telah diumumkan oleh YB Menteri bahawa sesi baru tahun 2022 akan bermula pada bulan Mac 2022. Berikan rasional terhadap pendirian ini.
Tuan Yang di- Pertua, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari bahawa sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2020 dan tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan seperti mana kebiasaan. Oleh yang demikian, KPM telah membuat ketetapan untuk melanjutkan sesi persekolahan tahun 2021 sehingga bulan Februari tahun 2022. Perlanjutan sesi ini membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan secara intensif bagi meningkatkan kesediaan murid untuk mengikut tahun persekolahan berikutnya. KPM telah menetapkan sesi persekolahan tahun 2022 dan 2023 bermula pada bulan Mac. Ketetapan ini adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] berhubung dengan bilangan hari persekolahan. Sesi persekolahan ini akan dijadikan sebagai panduan dalam menetapkan sesi persekolahan pada tahun seterusnya. KPM juga akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk situasi semasa dan maklum balas daripada pihak yang berkepentingan. KPM bersedia untuk melaksanakan penambahbaikan kepada sesi persekolahan selaras dengan keperluan semasa bagi memastikan murid mendapat akses pendidikan yang berkualiti. Terima kasih.
Terima kasih, soalan tambahan. Sila, Yang Berhormat Rasah.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya meneliti jawapan daripada Yang Berhormat Senator Timbalan Menteri KPM yang menjawab soalan Rasah. Daripada jawapan tersebut, terbukti KPM masih dalam peringkat proses untuk meneliti sama ada pada tahun-tahun akan datang, sesi persekolahan akan bermula pada bulan Mac seperti mana pada tahun depan yang akan bermula pada 20 dan 21 Mac ataupun kembali kepada Januari. Soalan saya adalah dari segi ini, boleh tidak kita tetapkan satu ketetapan, buat satu ketetapan pihak KPM supaya lebih awal hendak beritahu sebab saya masih ingat tarikh ataupun tempoh tiga atau empat bulan seperti kali ini. Kita faham pandemik sekarang ini mungkin tidak cukup untuk semua pemegang taruh termasuk ibu bapa dan pihak sekolah untuk membuat persiapan untuk sesi persekolahan. Oleh sebab kita tahu, kita masih diselubungi oleh pandemik dan banyak kesiapsiagaan perlu dilakukan. Saya bagi contoh, macam mana dengan persiapan seperti ujian kit kendiri untuk tahun depan, sanitasi, pelitup muka dan juga vaksin untuk murid-murid khasnya sekolah rendah. Boleh tidak pihak kementerian— saya tahu soalan ini mungkin lari sedikit dari soalan asal tetapi dia berkaitan dengan sesi persekolahan baharu. Boleh tidak pihak kementerian melakukan apa sahaja daya yang mungkin dengan kerjasama semua kementerian yang terlibat seperti MOSTI, KKM dan sebagainya, memastikan semua murid sekolah rendah divaksin. Oleh sebab kita kalau dari hari ini masih ada dalam 70 atau 80 hari lagi sebelum sesi persekolahan yang baharu bermula, semua murid daripada Tahun 1 hingga Tahun 5, divaksin sekurang-kurangnya satu dos sebelum mereka masuk ke sesi baharu. Oleh sebab saya rasa vaksin merupakan antara perkara yang sangat mustahak untuk kita sama-sama— saya rasa kita ada komitmen yang sama untuk memastikan sesi persekolahan baru ini semuanya dalam keadaan yang selamat, sihat dan sama-sama kita membangunkan bidang pendidikan negara. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Rasah yang sangat prihatin dalam perkara ini. Sudah tentunya seperti mana yang telah saya terangkan tadi, KPM sentiasa melaksanakan penambahbaikan kepada sesi persekolahan selaras dengan keperluan semasa bagi memastikan murid mendapat akses pendidikan yang berkualiti. Mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan iaitu kit kendiri dan khususnya kepada vaksinasi, saya rasa seperti mana Ahli Yang Berhormat sedia maklum kita berpandukan kepada keputusan mengenai risiko, faedah dan sebagainya keputusan yang dibuat daripada Kementerian Kesihatan dan juga Majlis Keselamatan Negara. Terima kasih.
Soalan tambahan yang kedua saya jemput Yang Berhormat Tumpat.
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Soalan pendek. Saya ingin bertanya, apakah kementerian mempunyai perancangan jangka masa sederhana untuk membuka kapasiti penuh bagi sesi persekolahan semasa tertakluk kepada syor daripada MKN. Terima kasih.
Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tumpat. Itu kita kena berpandu kepada keputusan dan perbincangan daripada KKM dan khususnya MKN. Terima kasih.
Seterusnya saya jemput— Yang Berhormat Tasek Gelugor tidak ada dalam Dewan. Seterusnya, Yang Berhormat Bangi pun tidak ada dalam Dewan. Saya jemput seterusnya Yang Berhormat Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz (Bachok).
[Soalan No. 11 – YB. Datuk Haji Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) tidak hadir]
[Soalan No. 12 – YB. Dr. Ong Kian Ming (Bangi) tidak hadir]
13. Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [Bachok] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan pelan pembangunan jalur lebar serta rangkaian telefon yang lemah di Parlimen Bachok.
Okey, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Bachok. Memanglah kalau sekarang ini kita cerita 4G pun masih lagi ada gangguan lemah lagi. Jadi untuk makluman Yang Berhormat, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah menghasilkan Pelan Jalinan Digital Negara yang bertujuan untuk meneliti isu akses kepada internet berkualiti bagi perkhidmatan tetap dan mudah alih. Berikutan merupakan antara usaha menambah baik infrastruktur digital Kelantan dan Parlimen Bachok agenda fasa 1 setakat 31 Oktober 2021 seperti berikut: (i) tapak menara baharu, perancangan satu kita bagi dan siap satu; (ii) dekat Kelantan perancangan 91 dan siap hanya 25; (iii) naik taraf stesen pemancar perancangan 93; (iv) [Tidak jelas] Kelantan perancangan 1,377; (v) Bachok yang siap 33 dan 87 dan di Kelantan, 1,049 sahaja; (vi) premis tersedia gentian optik, perancangan 1,589 dan yang siap 828. (vii) untuk negeri Kelantan 54,904 dan yang siap 29,357. Jalur lebar satelit, perancangan siap 18. Jadi untuk pengetahuan Yang Berhormat, memanglah kita tengok lambat dari dua tahun ini baru kita nampak baru kita boleh siap semuanya untuk naikkan taraf 3G kepada 4G. Secara umumnya pemasangan kesemua JENDELA ini telah bermula sejak September 2020 dan inisiatif dalam perancangan akan siap secara berperingkat-peringkat sehingga hujung tahun 2022.
Manakala bagi peningkatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit kini dalam proses pelaksanaan dan dijangka akan siap berperingkat mulai November 2021 sehingga awal tahun 2021. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, kita tengah berusaha sekarang ini supaya kita hendak buat satelit untuk seluruh negara. Ini kita kata, kalau kita buat satelit sedikit-sedikit ini contohnya Bachok ada satelit, di Sabah ada satelit – Jadi, maknanya ia mengambil masa yang agak lama. Sekarang ini kita tengah libatkan pihak swasta supaya dapat kita panggil untuk buat satelit seluruh negara – satu satelit yang besar. Untuk makluman Yang Berhormat juga, peratusan liputan 4G di kawasan penduduk Kelantan telah meningkat kepada 93.91 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding dengan 91.87 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA pada suku 2020. Pelaksanaan JENDELA akan terus dipergiatkan bagi memastikan impak pelaksanaan akan dapat diterima dengan cepat oleh seluruh Keluarga Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, selain pembinaan menara telekomunikasi dan satelit, pihak kerajaan juga turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah point of presence atau hab gantian optik yang merupakan salah satu alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluas ke kawasan sekitar sekolah dan penduduk yang lebih baik terutamanya di antaranya di kawasan-kawasan di Bachok. Terima kasih Yang Berhormat.
Soalan tambahan pertama silakan Yang Berhormat Bachok.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang diberikan. Untuk khusus di kawasan saya Bachok, saya sebenarnya banyak menerima aduan sama ada secara lisan atau pun bertulis daripada rakyat di kawasan saya yang amat kecewa dengan liputan rangkaian telefon yang amat lemah. Saya bacakan secara tepat, secara cepat kawasan-kawasan yang lemah tadi iaitu jalan simpang tiga Bukit Marak ke simpang tiga Bekelam, Kampung Seri Sentosa ke simpang empat Beris Kubur Besar, Kampung Budi ke simpang tiga Beris Pintu Gerbang, simpang tiga Pintu Gerbang ke simpang Beris Kubur Besar, simpang tiga Kampung Tawang ke Kampung Wakaf Aik, Jalan Pengkalan Petah ke Kampung Balai, Bukit Cendol, Kampung Kok Lintang, Kampung Panchor, Gunong, Kampung Beoh, Kampung Haji Saman, Kampung Seneng, Kampung Alor Ganu, Kampung Telaga Ara, Kampung Kedai Ahad, Kampung Keting. Soalan saya, apakah langkah segera oleh pihak kerajaan terutama melalui pakej JENDELA bagi mengatasi liputan di kawasan Bachok terutama di kawasan-kawasan yang saya sebutkan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bachok. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Bachok. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, kita sekarang ini ada pejabat iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di setiap negeri. Jadi Yang Berhormat boleh hantar laporan tersebut kepada MCMC negeri dan juga ‘s.k.’ kepada saya sendiri. Makna, kita akan ambil tindakan. Kalau kita dapat MCMC untuk percepatkan itu, kita guna MCMC, kalau tidak kita guna Telekom Malaysia untuk masuk unifi dan sebagainya. Di samping itu Yang Berhormat, kita tengah usahakan beberapa teknologi lain selain daripada PoP dan beberapa teknologi untuk last mile iaitu untuk kawasan-kawasan yang terakhir ini yang maknanya tidak dapat liputan dan macam mana kita hendak mengatasi perkara ini. Oleh sebab itu, saya kata tadi kepada Yang Berhormat, kita kena buat laporan sebab ada tempat-tempat yang telco tidak mahu servis sebab tidak ada keuntungan. Ini kita hendak tengok, kita hendak minta laporan tersebut. Oleh sebab ada tower, ada menara, ada pemancar tetapi pemancar tidak digunakan sebab kawasan itu mungkin tidak menguntungkan. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, satu tower memerlukan perbelanjaan lebih kurang RM10,000. Akan tetapi, kadang-kadang ada 200 orang penduduk yang pakai prepaid RM300, hanya dapat RM600. Jadi mereka tidak mahu buat. Jadi MCMC kena ambil alih. Jadi Yang Berhormat, kita perlukan laporan. Terima kasih.
[Bangun]
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Minta maaf Yang Berhormat Tumpat. Masa telah habis. Ahli Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada hari ini. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat. Usul Yang Berhormat Menteri. [Sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Usul — Waktu Mesyuarat Dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan MesyuaratMotion
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Isnin, 13 Disember 2021.”
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah bahawa usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 JawatankuasaBill
Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula pertimbangan atas “Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Anggaran Pembangunan 2022 dalam Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.” [Hari Keduabelas] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan
[Bangun]
Ya sila.
Point of order Tuan Pengerusi.
Sila.
Peraturan Mesyuarat 13 – 6(12).
13?
Peraturan Mesyuarat 36(12).
Okey.
Saya merujuk kepada jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri Perpaduan Negara berkaitan dengan perarakan Thaipusam dan Chingay. Beliau telah menyatakan tidak dibenarkan atas kegusaran tentang COVID- 19 dan sebagainya. Akan tetapi, selepas itu dalam satu kenyataan dalam surat khabar semalam dinyatakan bahawa ia masih belum dimuktamadkan. Ini menimbulkan bukan sahaja kegelisahan tetapi juga kekeliruan. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang begitu penting dan sensitif ini. Seorang Menteri tidak boleh buat satu kenyataan dan dalam tempoh masa singkat 24 jam membuat perubahan ataupun pertukaran pendapat. Ini saya rasa kurang bertanggungjawab untuk seorang Menteri. Saya harap perkara ini harus ditangani dengan lebih teratur. Ini kerana, ia adalah adalah satu perkara yang penting untuk penganut agama Hindu iaitu perarakan untuk Thaipusam. So, saya harap bahawa kita boleh dapat kepastian tentang kedudukan sebenar tentang perarakan Thaipusam dan Chingay ini.
Baik, saya...
Saya difahamkan sudah ada satu usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Jelutong tetapi masih belum ada kepastian. Akan tetapi, selepas saya baca apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri dalam surat khabar semalam yang bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam Parlimen – Ini jelas mengelirukan Peraturan Mesyuarat 36(12) yang dinyatakan “Mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli ini boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu”. Saya tidak bercadang berbuat demikian tetapi harap Yang Berhormat Menteri boleh kembali ke Parlimen untuk memberikan keterangan yang benar dan juga yang pasti. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bagan. Pejabat Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menerima usul daripada Yang Berhormat Jelutong dan kami rujuk kepada isi-isi ucapan oleh Yang Berhormat Menteri. Ia begini, panjang. Kami check dalam verbatim ya. Beliau kata mesyuarat ini melalui tiga fasa, 13 Disember. Not yet, ini akan datang akan ada mesyuarat kumpulan kerja teknikal. Kemudian pada 14 next day, ada Mesyuarat Kuartet Menteri di kalangan Menteri dan yang ketiga adalah mesyuarat bersama dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 15 hari bulan. Rumusannya, bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh ketiga-tiga mesyuarat. Jadi, kita harap tarikh-tarikh itu akan datang. Dengan input seperti ini, kita menolak usul Yang Berhormat Jelutong tetapi akan diputuskan kemudian, with all the feedback that you have been giving dengan izin. Baik, terima kasih.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya berterima kasih atas jawapan yang diberikan itu. Memang saya sebagai ahli jawatankuasa itu pandemik COVID-19 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, perkara ini pun belum dibincangkan. Akan tetapi beliau telah buat kenyataan. Sekarang perkara pokoknya Tuan Pengerusi ialah kenyataan yang bercanggah dengan pengumuman atau jawapan yang beliau berikan di Parlimen. Beliau berikan jawapan pada hari Selasa. Hari Rabu, beliau buat kenyataan yang berlainan. So apakah kedudukan sebenarnya?
Ini adalah satu perkara yang agak sensitif kerana ia berkaitan dengan perarakan Chingay dan Thaipusam. Yang Berhormat, saya tahu Yang Berhormat pun pernah menghadiri perarakan tersebut bersama dengan saya pada masa itu. Ini zaman dahulu tetapi apabila diumumkan tidak dibenarkan, semua persiapan akan dihentikan. So macam mana kita boleh berikan kepastian kepada penganjur-penganjur supaya perarakan
tersebut bolehlah dijalankan seperti biasa. Ini penting Tuan Pengerusi. Saya rasa Tuan Pengerusi faham tentang sensitiviti perkara ini dan pada masa yang sama kita mesti pastikan jawapan yang benar dan konsisten dan tuntas daripada Yang Berhormat. Janganlah hari ini cakap sedemikian, hari esok lain pula. Saya rasa itu tidak akan memberikan keyakinan tentang kredibiliti dan kewibawaan pihak kerajaan. Saya harap Yang Berhormat boleh ambil perhatian tentang perkara ini. Berikan jawapan yang betul dan tepat di Parlimen. Janganlah selepas berikan jawapan, buat kenyataan lain di surat khabar, kena balik ke Parlimen untuk betulkan kenyataannya. Terima kasih.
Terima kasih. Saya ambil petua untuk buat secara bertulis, tanggungjawab oleh Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Terima kasih Yang Berhormat.
Saya tidak bercadang untuk rujuk dia. Saya tidak mahu rujuk Yang Berhormat Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Saya hendak minta janganlah di Parlimen cakap satu, di luar cakap lain. Kalau dia cakap lain, kembalilah ke Parlimen dan betulkannya. Kalau tidak, kita akan keliru. Yang mana betul yang mana tidak kerana Selasa cakap macam itu, Rabu cakap lain. Saya pun tahu bila saya baca kenyataan tidak betul, saya ahli jawatankuasa tidak pernah dibawa dibincangkan langsung. So, saya harap Tuan Yang di-Pertua beri arahan kepada Yang Berhormat Menteri. Buatlah satu ‘Penyata Yang Berhormat Menteri’ untuk betulkan apa yang dibuat. Kita bukan hendak cari pasal. But at least let us get the correct information in the House. Ini Dewan yang mulia. Jadi saya harap Tuan Pengerusi boleh arahkan beliau balik ke Parlimen buatlah satu penyata Yang Berhormat Menteri yang tepat. Saya tidak mahu paksa perkara ini hendak rujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Saya tidak berniat macam itu. Akan tetapi, minta beliau kembali ke Parlimen, buat pembetulan.
Baik, terima kasih Yang Berhormat Bagan.
Kalau salah, betulkan. Saya rasa itu harus dibuat oleh seorang Yang Berhormat Menteri yang bertanggungjawab.
Terima kasih. Saya ambil maklum perkara itu, Yang Berhormat.
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 Jawatankuasa — Kepala B.60 [Jadual] – Kepala P.60 [Anggaran Pembangunan 2022] –Bill
Ahli-ahli Yang Berhormat, Kepala Bekalan B.60 dan Kepala Pembangunan P.60 di bawah Kementerian Pertahanan dibuka untuk dibahas. Ahli Yang Berhormat, saya ada senarai dan dihadkan kepada 20 Ahli-ahli yang akan berbahas peringkat jawatankuasa. Yang Berhormat Port Dickson, Yang Berhormat Libaran, Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Teluk Intan, Yang Berhormat Bachok, Yang Berhormat Setiawangsa, Yang Berhormat Jerai, Yang Berhormat Papar, Yang Berhormat Dungun, Yang Berhormat Bukit Bendera, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Sepang, Yang Berhormat Jempol, Yang Berhormat Ipoh Timur, Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Kemaman, Yang Berhormat Padang Serai dan Yang Berhormat Tampin. Saya menjemput Yang Berhormat Port Dickson untuk memulakan perbahasan peringkat jawatankuasa.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Merujuk Butiran 010100 – Pengurusan Am. Yang Berhormat Menteri Pertahanan beri
jaminan setelah mendapat laporan dari antarabangsa mengenai ketirisan dan rasuah yang berlaku terutama di Kementerian Pertahanan dan soal urusan perolehan dan pembelian oleh Kementerian Pertahanan. Tuan Pengerusi, hal ini bukan perkara yang baharu. Yang Berhormat Menteri Pertahanan silih berganti, kerajaan juga silih berganti. Akan tetapi pekung rasuah ini terhidu luas sehingga sekarang ini mendapat perhatian Global Defence Integrity Index (GDI) 2020. Kalau kita lihat umpamanya apa dia kelemahan besar kita sekarang ini. Apabila disebut di sini, kebanyakan terlibat operational risk, financial risk, procurement risk. Akan tetapi personnel risk itu paling minima. Maknanya kemantapan, kemahiran, keupayaan pegawai-pegawai tentera dan pegawai-pegawai kerajaan di Kementerian Pertahanan itu tidak dibelasah dalam laporan itu. Apa yang ditekankan ialah soal perolehan, proses perolehan yang melibatkan tentunya campur tangan politik. Perkara ini dimaklum, kita tahu daripada dahulu Scorpion, kita dulu tahu tentang frigate ke Yarrow shipyard. Kelewatan dan hal-hal yang dituduh, ketirisan, pengurusan yang lemah dan sebagainya. Sekarang berulang lagi. Jadi saya mulakan oleh yang demikian dengan merujuk kepada Laporan GDI Indeks. Yang Berhormat Menteri Pertahanan bagi jaminan akan memberi kerjasama penyiasatan. Saya ucap terima kasih. Kalau benar ini serius, beri keterangan di Parlimen dahulu. Sampai sekarang proses perolehan, kos termasuk soalan-soalan yang saya tanya, itu hanya dipilih sebahagian kecil yang dijawab, yang lain tidak dijawab. Ini termasuk umpamanya teguran dari Ketua Audit Negara. Bagaimana boleh kita kompromi soal keselamatan dan ini diucapkan lama sebelum saya di Parlimen ini. Keselamatan pegawai dan keselamatan negara itu dikompromi kerana ketirisan dan rasuah yang berlaku sehinggakan jatuh indeks keyakinan di mata dunia setelah dilakukan kajian. Ketua Audit Negara sendiri menegur, apa isu dia. Perolehan enam helikopter MD- 530G pada tahun 2018. Ada dijawab. Akan tetapi ia tidak memberi penyelesaian tentang kelemahan ketara dalam sistem perolehan. Kegagalan penghantaran enam buah kapal littoral combat ship (LCS) menurut jadual. Kementerian Pertahanan tentunya ada keutamaan apa yang perlu diperolehi sekarang dan sebagainya. Akan tetapi ini yang ternyata dalam laporan Ketua Audit Negara. Jadi bagaimana kita hendak harapkan satu sistem yang moden setiap kali Parlimen diminta luluskan wang yang banyak untuk Kementerian Pertahanan. Akan tetapi soal ketirisan, soal rasuah, soal komisen, soal syarikat-syarikat itu terus menerus. Saya bagi contoh. Enam buah helikopter MD-530G, siapa yang perolehi? Halaman Optima Sdn. Bhd tahun 2015. Dikemukakan oleh siapa? Dato’ Harrison bin Hassan, Timbalan Ketua UMNO bahagian Subang. Saya tidak ada masalah siapa pun. Akan tetapi kalau ada laporan ketirisan penyelewengan begini, mesti diambil tindakan. Kemudian Unit Perancang Ekonomi diminta supaya mengecualikan perolehan itu dari pemeriksaan pengurusan nilai, value management. Bagaimana boleh kita terima kenyataan, satu perolehan kelengkapan tentera yang besar diketepikan soal value management yang ditetapkan oleh EPU. Kontrak bernilai RM340 juta. Ini yang MD-530G, pembelian dilakukan secara tergesa-gesa, harga yang diragui RM340 juta. Akan tetapi kalau ikut original equipment manufacturer, harga yang ditetapkan itu lebih kurang RM184 juta. Kita beli RM340 juta kerana tanpa sistem penilaian yang harus dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi dan kalau ikut pengalaman saya, Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan ada, memang ditetapkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan. Memang pembelian itu dibuat oleh Kementerian Pertahanan, tetapi penilaian kewangan itu diamanahkan kepada Kementerian Kewangan.
Saya tahu macam pembelian frigates di Euro Shipyard, London. Itu ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan dengan kosnya sekian bilion. Bila pergi kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan, terus satu perbincangan yang teliti, diturunkan beratus juta daripada apa yang diputuskan oleh Kementerian Pertahanan. Ini yang disebutkan kebocoran, ketirisan yang mesti kita elakkan.
Minta rumuskan Yang Berhormat.
Ya, sikit sahaja lagi Tuan Pengerusi.
Baik.
Kemudian, oleh kerana ada kepentingan begini dan kawan yang menjadi kontraktor yang mendapat komisen besar syarikat ini, maka liquidated acceptance damages yang satu peratus nilai kontrak itu tak dikenakan, diberi pengecualian. Ini masalahnya bila sistem kroni itu diamalkan dan walaupun saya bangga kerana laporan ini menyebut tentang keupayaan personel, maknanya pegawai-pegawai tertinggi tentera, perajurit dan staf penjawat awam itu dianggap kategori yang baik. Yang bobrok ini ialah cara perolehan, maknanya campur tangan. Siapa yang bertanggungjawab dalam menetapkan? Jadi, kalau Yang Berhormat Menteri beri pengakuan sekadar lunak didengar tetapi tidak dihalusi, takkan lah sampai berpuluh tahun, ini sahaja yang kita bincang? Beli senjata tak sampai pun mengikut jadual, kos melambung tinggi, tidak ada penilaian. Ini saya dengar lama dah. Daripada Ketua Pembangkang yang lama sebelum saya lagi. Jadi, mintalah kesungguhan Yang Berhormat Menteri Pertahanan beri perakuan di Parlimen ini bahawa amalan buruk ini dihentikan. Akhir sekali ialah tentang pembelian enam buah kapal littoral combat ship (LCS) kepada Boustead Naval Shipyard. Ini pun kita setujulah kalau berikan kepada keupayaan tempatan tetapi sepertimana kita tahu, reka bentuk yang dipilih ialah Gowind dari Naval Group France, rekaan baru yang tiada dalam pasaran pada tahun 2011. BNS mereka bentuk tetapi kelulusan akhir atau design right masih lagi di tangan Naval Group. Jadi kita mahu hal-hal yang sedemikian supaya lebih transparent. Saya tahu bahawa Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, dalam perolehan itu kita ada tahap kerahsiaannya untuk menjaga strategi keselamatan negara tetapi janganlah guna ini untuk mengaut keuntungan peribadi atau kelompok. Ini sahaja yang saya hendak tekankan dan kita minta penjelasan kerana bila kita bangkitkan dalam ucapan dasar, Tuan Pengerusi, tidak ada jawapan yang memuaskan melainkan kata, “Oh! kita akan beri jaminan kerjasama”. Jaminan yang sama telah dibuat 30 tahun, 20 tahun, 10 tahun yang lalu tetapi berulang. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Port Dickson. Seterusnya Yang Berhormat Libaran.
Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang kepada Libaran untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2022 peringkat Jawatankuasa. Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya ingin menyentuh perkara di bawah Maksud Bekalan 60 di bawah Butiran 020000 – Pertahanan Negara. Ancaman pelanunan di Malaysia, khususnya di negeri Sabah bukanlah isu baharu kerana ia dapat ditelusuri sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. Lanun-lanun yang digeruni ini dikenal pasti aktif melakukan jarahan dan serangan ke atas kapal-kapal pedagang di perairan Laut Sulu, Selat Melaka, Selat Singapura sehingga ke Teluk Bengal. Pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat pada tahun 1963 bukanlah titik noktah kepada ancaman- ancaman pelanunan ini. Walau bagaimanapun, ancaman yang suatu ketika dahulu hanya dianggap sebagai lanun atau ancaman lanun, kini mula dilihat berevolusi kepada ancaman yang berbentuk baharu iaitu ancaman kidnapping for ransom (KFR). Pada tahun 2015, berlakunya kes penculikan bersenjata di Restoran Ocean King, Sandakan di mana dua warga tempatan, seorang lelaki dan seorang perempuan, diculik sekumpulan lelaki yang
bersenjata malah tragedi Lahad Datu pada tahun 2013 oleh gerakan bersenjata yang meragut nyawa dua orang anggota keselamatan negara dan mencetuskan pembentukan ESSCOM. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan ancaman KFR ini terus berlaku di Wilayah Pantai Timur Sabah. Sehingga hari ini, faktor luaran adalah berkait dengan ketidakstabilan Wilayah Selatan Filipina yang memberi tempias kepada negeri Sabah. Selain faktor luaran ini, ia terus memangkinkan lagi oleh faktor dalaman, seperti kedudukan negeri Sabah yang hampir dengan selatan Filipina, bentuk bumi Pantai Timur Sabah, lambakan migran yang menjadi dalang dalam kumpulan pengganas. Saya mohon dan mengalu-alukan inisiatif kerajaan memperketatkan lagi pengawasan keselamatan di negeri Sabah, demi untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat Keluarga Malaysia. Khususnya di kawasan Pantai Timur, diperkukuhkan dengan pemantauan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM di Kem Kukusan, Tawau serta Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di Sandakan. Tuan Pengerusi, sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Libaran. Sekarang, saya jemput Yang Berhormat Shah Alam.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahi Rahmani Rahim. [Membaca doa aluan dalam bahasa Arab] Saya ingin memulakan perbahasan di atas Bekalan dan Pembangunan 60, Kementerian Pertahanan dengan menyentuh isu veteran pencen kadar lama iaitu Kepala 010200. Saya ingin bertanya melalui butiran ini, kenapakah bajet ini mempunyai pengurangan hampir RM13 juta, sedangkan kebajikan veteran tentera perlu diberikan perhatian penting. Kita tahu kos sara hidup meningkat dengan tinggi, khususnya selepas Fasa 4 PPN negara berlaku atau fasa endemik. Banyak veteran merasakan mereka tidak mampu nak hidup dengan pencen yang sedia ada, memandangkan veteran ini mempunyai kadar pencen yang rendah kerana berdasarkan gaji semasa mereka menjadi tentera sebelum mereka menamatkan perkhidmatan sebagai tentera, lalu menggunakan dasar gaji yang lama. Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggesa kerajaan melaksanakan penyelarasan pencen yang lebih munasabah kepada bekas tentera selaras dengan peningkatan taraf hidup semasa. Presiden Persatuan Veteran ATM, Kapten Bersara Datuk Sharuddin Omar berkata, penyelarasan itu perlu turut membabitkan veteran tentera zaman menentang komunis dan konfrontasi yang tidak mendapat kenaikan pencen berbanding tentera generasi baharu. Mohon kementerian kaji semula sistem pencen tentera yang lama supaya diperbaharui mengikut kadar inflasi tahunan supaya mereka boleh melangsungkan kehidupan pada masa ini. Kita dapati bahawa pada tahun 2021, jumlahnya adalah sebanyak RM105 juta dan untuk tahun depan, bajet untuk pengurusan Hal Ehwal Jabatan Veteran adalah hanya RM92 juta, pengurangan sebanyak hampir RM13 juta yang tidak munasabah bila kita mengambil kira keadaan yang semasa ini.
Butiran 020300 – Pertahanan Maritim, 020400 – Pertahanan Udara dan 020500 – Penguatkuasaan Maritim. Peralatan tentera yang makin obsolete dan banyak kerosakan yang dahsyat. Melihat kepada tiga butiran ini, kenapakah penurunan yang agak banyak kepada pengurusan aset pertahanan negara? Memandangkan sistem pertahanan negara merupakan sistem yang lama, sudah obsolete dan mengalami kerosakan yang dahsyat? Melalui laporan yang dibuat oleh PAC mengenai Zon Maritim Malaysia (ZMM), dua isu yang disyorkan adalah penambahbaikan sistem dan penaikan taraf aset negara supaya negara dapat mengelakkan pencerobohan negara kepada zon maritim kita. Melalui laporan juga, aset sebanyak 72.7 peratus iaitu sebanyak 592 yang digunakan antara 11 hingga 20 tahun dan juga 57 buah aset tidak diselenggarakan kerana
peruntukan tidak mencukupi. Sudahlah didatangkan laporan mengatakan peruntukan tidak mencukupi untuk tahun depan, diturunkan lagi peruntukan. Ini semua laporan, kajian yang dibuat tetapi tidak didengari. Terdapat banyak pencerobohan berlaku, salah satunya jumlah sebanyak 89 buah agensi penguatkuasaan China di laut Sabah 72 kali, People’s Liberation Army Navy sebanyak 17 kali. Apabila tidak dilihat presence, naval presence, kehadiran kapal-kapal tentera kita di dalam perairan itu, maka ada kapal-kapal nelayan dari Vietnam boleh sampai ke Kuching kerana tidak nampak kita punya presence. Lalu ini merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima. Jabatan Audit Negara pada tahun 2020 menyatakan hampir 35 peratus aset laut rosak. Saya percaya ia telah meningkat kepada 72.7 peratus pada tahun ini dah rosak dan semakin sukar untuk digunakan. Namun, peruntukan pertahanan maritim aset diturunkan sebanyak 35 peratus yang mana jangka masa panjangnya akan menyebabkan ancaman kepada keselamatan negara. Melalui jawapan Yang Berhormat Sembrong mengatakan, Kementerian Pertahanan menjangkakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperoleh kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang disebutkan oleh Yang Berhormat Port Dickson tadi, yang pertama pada tahun 2025. So, what are we going to do in the meantime? Hendak tunggu sampai lima tahun ini, kita hendak buat apa? Pada masa yang sama, bajet dikurangkan. Maka, sepatutnya dalam kita mengetahui bahawa aset-aset yang baru ini hanya akan tiba pada 2025, walaupun sepatutnya dah terima tetapi ditunda, ditunda seperti mana disebut oleh Yang Berhormat Port Dickson tadi, kita mesti menentukan bahawa aset yang ada itu diselenggarakan dengan baik supaya boleh digunakan, bukan dikurangkan bajet. Ini merupakan satu sikap yang seolah-olah tidak mengambil berat tentang persoalan penjagaan keselamatan negara. Akhirnya, Butiran 010100 – Status dan Progress Defense Investment Plan. Ini ada Kertas Putih Pertahanan yang telah mencadangkan ATM mendraf Pelan Pelaburan Pertahanan Negara tersendiri. Ini amat penting. Saya difahamkan tidak ada progress dalam persoalan ini. Oleh kerana itu, segala pembelian dan investment yang dilakukan mengikut dorongan vendor-vendor. This cannot be continued, dengan izin Tuan Pengerusi. Vendor-vendor tidak boleh menentukan perancangan pembelian aset angkatan tentera. Kita mesti ada satu master plan yang ditentukan oleh angkatan tentera negara dan bukan oleh vendor-vendor. Saya hendak dapatkan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab. Apakah progress dalam soal pembentukan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan antara kementerian-kementerian yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk merancang investment plan bagi angkatan tentera kita? Sekian.
Baik, terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Tumpat.
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. [Membaca sepotong doa] Terima kasih Tuan Pengerusi, atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertahanan. Pertamanya, saya ingin menyentuh Butiran 020000 – Pertahanan Negara. Saya ingin mendapatkan penjelasan kementerian berhubung Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN) yang menjadi teras kepada Kertas Putih Pertahanan yang pernah dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini. Saya ingin mengetahui sejauh manakah pelan pelaburan yang dirancang oleh pihak kementerian? Berapakah pelaburan yang telah diterima ketika ini? Ke manakah tumpuan pelaburan tersebut? Saya juga ingin mengetahui sejauh mana pihak kementerian melaksanakan sesi libat urus dengan pihak- pihak berkepentingan bagi memastikan rancangan pelaburan yang lebih berstrategik? Seterusnya, Butiran 010200 – Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran. Di bawah Pelan Strategik MINDEF (PSM 2021/2025) yakni di bawah Teras Strategik Transformasi
Kesejahteraan Veteran ATM. Saya ingin mengetahui berapakah buah rumah yang telah di baik pulih serta berapa pembinaan baru telah dibangunkan oleh kementerian kepada veteran ATM sepanjang tahun ini? Saya juga ingin mengetahui berapakah nilai peruntukan yang disediakan bagi tahun akan datang dan berapakah sasaran pembinaan rumah baharu bagi tahun hadapan? Saya juga ingin mengetahui, apakah prosedur permohonan yang ditetapkan oleh kementerian bagi program ini serta langkah yang dirancang oleh kementerian bagi memastikan lebih ramai veteran ATM mendapat kemudahan kediaman seperti yang dirangka di bawah Pelan Strategik MINDEF? Ini kerana sesungguhnya mereka yang sangat berjasa kepada negara ini perlu sangat dibantu, khusus untuk mendapatkan kemudahan kediaman yang sesuai. Tumpat menyeru kerajaan agar serius dalam membantu veteran ATM dalam perkara ini. Saya juga ingin menyentuh Butiran 020100 – Bantuan Bersama. Saya ingin bertanya mengenai kerjasama pertahanan pelbagai pihak Five Powers Defense Arrangement yang disertai Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom bagi menyumbang kepada pertahanan luar Malaysia dan Singapura. Saya ingin bertanya sejauh mana kerjasama ini melibatkan perpindahan teknologi pertahanan di antara negara-negara terlibat? Sejauh mana manfaat semasa yang diperolehi negara sepanjang penyertaan Malaysia dalam FPDA ini yang ditandatangani sejak lebih 50 tahun yang lalu, sejak 1971. Saya juga ingin bertanya mengenai pelan strategik yang dirangka pasca Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FPDA) Ke-11 yang diadakan pada 21 Oktober yang lalu. Apa aset generasi kelima yang diperkenalkan dalam exercise berjadual FPDA bersama negara-negara anggota FPDA ini? Saya juga ingin melanjutkan perbahasan ini kepada bentuk latihan anti keganasan dan keselamatan maritim yang dirancang bersama di bawah FPDA. Apa bentuk latihan yang sedang dibangunkan dalam menanggapi perkara ini? Apatah lagi Malaysia sendiri terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan. Seterusnya Tuan Pengerusi, Butiran 020300 – Pertahanan Maritim. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan kementerian berhubung perancangan menyeluruh perolehan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal littoral combat ship (LCS) serta apakah pertimbangan kementerian terhadap syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa berkenaan? Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Sila Yang Berhormat Teluk Intan.
Terima kasih Tuan Pengerusi kerana mengizinkan saya mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa, Kementerian Pertahanan. Terlebih dahulu, Teluk Intan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh 165,263 orang anggota pertahanan kita sama ada daripada tentera darat, tentera laut dan tentera udara atas jasa mereka yang sanggup berkorban, menabur bakti, mengorbankan diri untuk mempertahankan ibu pertiwi kita yang tercinta ini. Tuan Pengerusi, saya bangun dan ingin membangkitkan lima perkara. Pertama, di bawah Butiran 020000 – Pertahanan Negara. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apa perkembangan terkini Defense White Paper yang telah pun diluluskan oleh Dewan yang mulia ini, telah mengesyorkan supaya kementerian demi pembaharuan Kementerian Pertahanan, menubuhkan tiga jawatankuasa induk iaitu: (i) Defense Investment Committee; (ii) Policy Committee; dan (iii) Reformation and Implementation Committee. Apa sudah terjadi kepada Kertas Putih Pertahanan Negara? Apakah pencapaian selaras dengan pembentangan kertas tersebut?
Kedua adalah selaras dengan semangat Keluarga Malaysia. Apakah dasar kerajaan dan usaha-usaha kerajaan untuk menggalakkan kaum bukan Melayu supaya menyertai pasukan anggota keselamatan kita? Supaya ia mencerminkan semangat saudara-mara kita sebagai Keluarga Malaysia. ini sangat penting untuk mempamerkan imej kemasyarakatan majmuk Malaysia yang tercinta ini. Perkara ketiga adalah tentang di bawah Butiran 002000 – Kelengkapan (Tentera Darat). Kelengkapan tentera darat, kelengkapan tentera laut dan kelengkapan tentera udara telah pun dihadkan. Sebenarnya jumlah yang peruntukan adalah cukup besar iaitu lebih kurang RM40.3 bilion dalam jangka masa lima tahun. Tahun hadapan ada peningkatan sama ada kelengkapan tentera darat meningkat 51 peratus kepada RM1.3 bilion, kelengkapan tentera laut RM1.08 bilion ataupun kelengkapan tentera udara RM1.68 bilion. Saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Menteri khususnya apabila kedudukan tanah air kita di Government Defence Integrity Index sedang merosot, adakah kerajaan mengambil langkah supaya— saya mengesyorkan supaya kementerian menubuhkan high level independent audit committee untuk memastikan semua firearm procurement ini tepat pada standard operating percedure dan mencerminkan tahap integriti yang paling tinggi. Perkara yang ketiga adalah beberapa peruntukan yang perlu penjelasan. Pertama perkara yang ketiga adalah penyelidikan pembangunan dan pelaburan. Pada tahun ini diperuntukkan RM7.2 juta tetapi pada tahun hadapan nampaknya da kenaikan lima kali ganda daripada RM7 juta menjadi RM40.7 juta. Mengapa ada lonjakan yang begitu tinggi untuk usaha penyelidikan pembangunan atau development research sahaja RM40.7 juta. Ini kerajaan wajib untuk memberitahu Dewan yang mulia ini apakah perkara-perkara penyelidikan yang akan dijalankan. Perkara yang keempat adalah tentang one-off. Saya sudah mencari buku bajet daripada muka surat pertama hingga muka surat terakhir, tidak nampak pun apakah butir- butir wang one-off ini. Hanya satu perkataan sahaja one-off. Kemudian jumlahnya RM47.5 juta. Perbelanjaan begitu besar tetapi langsung tidak nampak apa butir-butir. Oleh kerana itu, saya menegaskan ketiadaan ketulusan menjadi punca utama rasuah dan amalan penyelewengan. Kementerian Pertahanan bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara. Pimpinan melalui teladan. Oleh kerana itu, Kementerian Pertahanan wajib mempamerkan tahap integriti pada tahap yang maksimum. Perkara terakhir, saya ingin menunjukkan ialah Butiran 030600 – Menangani Keusangan Sistem. Sebanyak RM25 juta telah pun diperuntukkan. Tuan Pengerusi, saya ingin memberitahu Dewan yang mulia. Sejak tahun 1989 pada 14 November, kejadian nahas helikopter terhempas di Gunung Gerah sempadan Kelantan-Perak. Seramai 21 orang nyawa anggota tentera kita telah pun terkorban. Sehingga hari ini, kejadian helikopter terhempas, pesawat tentera kita terhempas telah meragut seramai 60 orang nyawa anggota tentera. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy yang telah meninggal dunia akibat nahas udara yang baru- baru ini berlaku pada bulan lepas di Butterworth dan juga Mejar Mohd Fareez Omar yang telah pun cedera parah akibat daripada nahas udara. Maka saya ingin bertanya, kita selalu dengar helikopter Nuri terhempas. Ahli Parlimen pun mati juga, bukan sahaja anggota tentera. Tuan Pengerusi pun faham. Seperti Tan Sri JJ Ahli Parlimen Kuala kangsar, semua meninggal dunia akibat daripada nahas udara. Maka saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan. Apakah jaminan supaya duit ini betul-betul kena pada tempatnya? RM25 juta sama ada cukup untuk menggantikan sistem pertahanan yang usang dan membaiki segala kerosakan. Saya minta penjelasan demi kepentingan negara dan juga rakyat. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Teluk Intan. Seterusnya, sila Yang Berhormat Bachok.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya terus pada Butiran 040100 – Pertahanan Darat dan Butiran 040200 – Pertahanan Udara. Di bawah butiran ini terdapat peruntukan one-off sebanyak RM22.5 juta kepada pertahanan darat serta RM25 juta kepada pertahanan udara. Saya ingin bertanya, apakah perincian peruntukan di bawah butiran ini serta apa beza dengan butiran pertahanan darat dan pertahanan udara yang ada di bawah Butiran Pertahanan Negara. Berkenaan dengan pertahanan udara, baru-baru ini kita dikejutkan dengan tragedi pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth. Saya ingin tahu apakah siasatan menyeluruh telah dilaksanakan terhadap insiden yang berlaku. Apakah hasil bedah siasatan tersebut? Apakah syor-syor baharu yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa siasatan berkenaan? Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat. Semoga Allah Taala merahmati dan mengampuni segala dosa arwah. Kes-kes yang melibatkan pesawat terhempas ini bukanlah kali pertama berlaku. Sebelum ini negara pernah digemparkan dengan pesawat Hawk 108 yang terhempas di Chukai. Sebelum itu melibatkan pesawat Beechcraft B200T, helikopter Nuri serta Aermacchi MB339CM serta CN235. Saya ingin tahu tahap penyelenggaraan terhadap aset-aset pesawat TUDM ini ketika ini serta apakah rancangan pembiayaan aset udara yang baharu. Saya kira setiap kali berlaku tragedi kemalangan udara yang melibatkan pesawat TUDM ini, maka setiap kali itulah keresahan rakyat bertambah terkait keupayaan dan keselamatan aset-aset pertahan udara kita. Kita amat berharap pihak kerajaan dapat segera bertindak melalui pelan dan program transformasi TLDM yang lebih menyeluruh bagi membolehkan keyakinan kita sendiri terhadap keupayaan dan kekuatan pertahanan udara kita. Butiran 020400 – Pertahanan Udara. Saya ini mengetahui perkembangan perolehan very short-range air defence (VSHORAD), MANPAD S serta sistem short-range air defence (SHORAD) yang telah dirancang dalam Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Kedua Belas. Berapakah nilai perolehan yang telah ditetapkan untuk mendapatkan kedua-dua sistem pertahanan udara ini? Butiran 020300 – Pertahanan Maritim. Kerajaan telah melaksanakan program transformasi TLDM 15 kelima yang merangkumi lima kelas kapal iaitu kapal tempur pesisir (LCS), kapal misi pesisir (LMS), kapal peronda generasi baharu (NGPV), kapal bantuan pelbagai misi (MRSS) serta kapal selam dan perolehan sebanyak 55 buah kapal perang TLDM secara berperingkat dalam tempoh 2015 hingga 2025. Rancangan ini juga melibatkan pelupusan aset-aset TLDM yang melebihi 25 tahun. Soalan saya, berapa buah aset yang telah dilupuskan setakat ini? Saya dimaklumkan bahawa kita akan mendapatkan sebuah kapal LMS pada Disember pada tahun ini. Apakah perkembangan terkini berkenaan dengan perkara ini? Saya juga ingin mengetahui perkembangan kemajuan kerja bagi perolehan enam buah kapal second- generation patrol vessel berkeupayaan littoral combat ship (LCS). Apakah ada penilaian semula terhadap sasaran kemajuan kerja bagi perolehan LCS ini dan bilakah jangkaan secara khususnya yang ditetapkan oleh kementerian untuk perolehan LCS yang pertama? Akhir sekali saya ingin tahu perkembangan terkini mengenai pelan pemulihan dalam isu perolehan LCS yang telah dilaksanakan oleh pihak kementerian berdasarkan syor yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan Kewangan Kerajaan. Mohon pandangan kementerian. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Bachok. Seterusnya Yang Berhormat Setiawangsa.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Setiawangsa ingin turut serta dalam peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertahanan. Pertama sekali Butiran 010200 – Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Ada penurunan besar daripada RM105 juta kepada RM92 juta. Kebanyakannya di bawah Kod 40000 iaitu Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Setiawangsa ingin bertanya apakah punca penurunan ini dan apakah kesan kepada kebajikan veteran? Sebelum ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika beliau menjawat Menteri Pertahanan telah menyatakan bahawa kerajaan bercadang untuk meminda Akta Angkatan Tentera 1972 supaya semua anggota yang berkhidmat akan mencapai tempoh minimum 21 tahun untuk layak mendapat pencen dan ganjaran. Apakah perkembangan cadangan ini? Akan tetapi selain daripada cadangan tersebut, sebenarnya lebih banyak lagi options yang ada untuk mengangkat martabat veteran. Misalnya memastikan latihan peralihan yang disediakan pada hari ini lebih efektif dan mungkin tempoh masa yang lebih panjang. Kita juga kena memastikan ada ekosistem di luar sana untuk memastikan kebajikan veteran ini terjaga apabila mereka meninggalkan servis. Antara kerja yang sering dikaitkan dengan golongan veteran ialah sebagai pengawal keselamatan misalnya. Ini yang paling mudah untuk mereka masuk. Akan tetapi gaji pengawal keselamatan yang terkini ialah sekitar RM1,200 dengan elaun RM600 hingga RM800. Itu mungkin bagi seorang yang pekerja asing, mereka mampu berbuat demikian kerana mereka tinggal bujang di sini, hantar duit pulang ke kampung, duduk satu rumah atau satu bilik ada 10 orang. Akan tetapi bayangkan seorang perajurit yang telah sertai servis pada usia 18 tahun untuk mempertahankan tanah air, mereka memegang jawatan lain-lain pangkat dapat khidmat minimum 21 tahun tetapi pasaran kerja selepas mereka meninggalkan servis menyediakan gaji yang pada tahap tersebut. Anak pada tahap itu iaitu umur sekitar 40 tahun, anak mereka masih belajar, mereka masih lagi at the prime of their lives untuk berkhidmat, hendak bersaing dengan pekerja-pekerja asing yang dapat menerima gaji yang rendah tersebut. Seterusnya Setiawangsa ingin pergi kepada Butiran 020000 – Pertahanan Negara dengan pengurangan hampir RM300 juta khususnya daripada segi bekalan. Adakah kita mengurangkan latihan ketenteraan (military exercise) ataupun kita memanjangkan tempoh latihan untuk menjimatkan perbelanjaan tersebut. Apakah tindakan kerajaan untuk memastikan pertahanan negara terus berada dalam keadaan yang terbaik dengan pengurangan ini. Seterusnya Pembangunan, Butiran 00300 - Pembinaan (Tentera Laut) dan Butiran 00400 - Kelengkapan (Tentera Laut). TLDM dalam littoral mission ship (LMS). Sebagaimana tadi disebut oleh Yang Berhormat Bachok tentang ‘Transformasi 15 Ke 5’. Tujuannya ialah untuk memastikan jenis kapal yang diperoleh adalah sama untuk kelas dan fungsi yang sama untuk memudahkan maintenance dan sebagainya. Jadi adakah perolehan LMS batch kedua dan ketiga – ada didengari daripada limbungan kapal China yang berbeza daripada LMS batch yang pertama. Adakah ini akan menimbulkan masalah? Apa yang dimaklumkan menerusi media ialah TH Heavy Engineering, syarikat dengan PN17 yang akan dikeluarkan daripada Bursa Malaysia sedang cuba untuk membida projek ini. Jadi kita berharap satu penelitian daripada pihak kerajaan untuk memastikan ia dibuat secara terbuka kepada pihak yang benar-benar mampu dan kita tidak mahu kesilapan seperti LCS berlaku. Seterusnya Butiran 00500 – Pembinaan (Tentera Udara) dan 00600 – Kelengkapan (Tentera Udara), TUDM. Pihak kerajaan sedang menilai tender light combat aircraft ataupun fighter lead-in trainer. Apakah jangka masa perolehan pesawat ini dan skopnya termasuklah jumlah kos sama ada ia dibuat secara off the shelf dengan izin, ataupun dengan rakan kongsi tempatan, jangka hayatnya, rancangan untuk
memanjangkan jangka hayat, pelan MRO dan lain-lain lagi. Kita tidak mahu ulangi masalah perolehan Hawk dan Aermacchi MB-339 yang berlaku sebelum ini yang menimbulkan masalah kepada TUDM. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Setiawangsa. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Jerai.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Pertama, B.60 Butiran 010200 – Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran. Pada tahun 2021 sebanyak RM105 juta telah diperuntukkan namun begitu jumlah berkenaan diturunkan kepada RM92 juta pada tahun 2022. Seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Shah Alam tadi saya pun bersetuju untuk mohon penjelasan kenapa peruntukan ini diturunkan sedangkan terdapat banyak perkara terutamanya melibatkan soal kebajikan hidup golongan veteran ini. Seterusnya, saya mohon kementerian membuat pertimbangan untuk memberi elaun kepada veteran secara bulanan atau secara one-off untuk mengenang jasa veteran yang masih hidup dan bertugas semasa zaman darurat yang mana mereka telah berkorban nyawa menentang komunis di belantara sehingga ada yang terkorban. Rata- rata veteran ini adalah warga emas yang tidak lagi mampu bekerja. Kedua, masih lagi di butiran yang sama. Persatuan Bekas Anggota Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat) yang sering masuk keluar pejabat saya di Jerai meminta kerajaan untuk menghargai penerima Pingat Jasa Malaysia. Mereka ini juga perlu diberikan wang sagu hati secara bulanan ataupun one-off. Veteran yang diberhentikan di bawah para yang melibatkan masalah tatatertib seperti tidak hadir tanpa cuti, melawan pegawai, penglibatan dadah dan sebagainya dilupuskan oleh Akta 49A dan mereka tidak diberi kemudahan apa pun seperti rawatan di hospital, bantuan sara hidup dan bantuan untuk anak-anak menyambung pengajian. Sedangkan mereka ini semua pernah memegang senjata dan pernah menyertai operasi. Mereka juga pernah bertempur dengan komunis dan perkhidmatan mereka juga ada yang melebihi 10 tahun. Atas kesalahan yang mereka lakukan mereka telah pun dikenakan hukuman dan juga telah pun diambil tindakan tatatertib sebelum diberhentikan. Saya berpendapat Tuan Pengerusi tidak adil kiranya mereka ini tidak diberikan sebarang sagu hati berbentuk wang bulanan ataupun one-off kepada mereka. Seterusnya di butiran yang sama, veteran yang berhenti dan tidak berpencen. Meskipun mereka tidak berpencen tetapi perkhidmatan mereka bukannya setahun dua, ada yang mencecah 18 tahun. Mohon kerajaan pertimbangkan kepada golongan ini untuk memberi bantuan sara hidup secara bulanan mengikut kelayakan perkhidmatan mereka dan pangkat semasa berhenti. Seterusnya B.60 Butiran 010100 – Pengurusan Am. Tentera yang akan bersara akan diberikan kursus kendalian oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (PERHEBAT). PERHEBAT telah diberi mandat dan tanggungjawab untuk membimbing dan melatih personel ATM yang akan bersara dan personel bersara supaya mereka mendapat kemahiran baharu untuk peningkatan kemahiran bagi menjalani corak penghidupan baharu selepas perkhidmatan di ATM. Namun begitu, ada juga di antara mereka yang masih sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai terutama yang tidak menerima pencen bulanan. Saya ingin bertanya berapakah statistik tahunan bekas tentera yang masih tidak mendapat pekerjaan selepas pencen? Adakah kementerian akan menambah baik kaedah yang sedia ada supaya mereka lebih mudah untuk mendapat pekerjaan selepas mereka berpencen. Terakhir, B.60 Butiran 020200 - Pertahanan Darat. Berkaitan Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang diwakili Malaysia, Australia, New Zealand, Singapore dan United Kingdom, mohon penjelasan tentang sejauh manakah FDPA ini
telah membantu dalam peningkatan kelengkapan ketenteraan di negara kita. Saya difahamkan kita kini hanya mempunyai sebanyak 48 buah kereta kebal jenis Pendekar PT-91M buatan Poland. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain jumlah ini dilihat sangat kecil jika dibandingkan dengan saiz negara kita kerana negara lain sebagai contoh negara jiran mempunyai lebih daripada 200 unit kereta kebal. Adakah kementerian ada membuat kajian untuk menambah bilangan kereta kebal ini bagi memastikan kedaulatan negara kita terus dipelihara jika berlaku kejadian tidak diingini pada masa hadapan. Tuan Pengerusi, sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jerai, tepat pada masanya pukul 1.00 tengah hari. Ahli-ahli Yang Berhormat, Majlis bersidang semula sebagai Majlis Mesyuarat. [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat ditangguhkan dan akan disambung semula jam 2.30 petang nanti. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
[Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Dato’ Sri Azalina Othman Said (Pengerang) mempengerusikan Jawatankuasa]
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakatuh. Ahli-ahli Yang Berhormat, Majlis bersidang dalam Jawatankuasa. Yang Berhormat Papar. Yang Berhormat Papar ada?
Ada.
Lima minit ya. Yang Berhormat Papar. Yang Berhormat Papar. Selepas Yang Berhormat Papar, Yang Berhormat Dungun. Yang Berhormat Papar dahulu.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakatuh. [Berucap dalam bahasa Cina] Kotohuadan. Terus ke B.60, Butiran 030000 – Program Khusus. Dimaklumkan sebanyak 107 buah projek telah dilaksanakan di seluruh negara di bawah Program Jiwa Murni dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.68 juta melibatkan kerja pembinaan baharu, baik pulih dan menyelenggara melibatkan kediaman individu awam, veteran ATM serta bangunan komuniti. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan merasa bangga dengan Angkatan Tentera Malaysia kita yang bukan sahaja memastikan keselamatan kita terjamin, malah turun padang membantu mereka yang memerlukan bantuan. Selari dengan perancangan kerajaan untuk memperluaskan program ini pada masa hadapan dan bagi memudahkan kami sebagai Ahli Parlimen dapat memperjuangkan peruntukan yang secukupnya bagi program ini. Saya ingin mencadangkan agar kementerian meletakkan butiran program ini setiap tahun dalam anggaran perbelanjaan tahunan kementerian. Di samping itu juga, saya ingin bertanya, bagaimana kami wakil rakyat ingin memohon Program Jiwa Murni ini? Di Parlimen Papar, terdapat banyak rumah yang perlu dibaiki, atap bumbungnya tercabut, rumah rosak akibat
banjir, jalan raya berlubang, perparitan tersumbat dan bermacam-macam lagi. Kami di Papar sememangnya mengalu-alukan bantuan-bantuan seperti ini memandangkan kami di Sabah masih jauh ketinggalan. Butiran 010200 – Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran. Terdapat pengurangan peruntukan sebanyak RM13 juta dan saya amati ia melibatkan pemberian dan kenaan bayaran tetap. Saya mohon penjelasan, mengapa berlakunya pengurangan tersebut? Pertama, saya ingin menyentuh mengenai kebajikan anggota veteran. Setakat hari ini, berapakah jumlah anggota veteran di Sabah yang diberikan bantuan untuk memulakan perniagaan? Daripada jumlah tersebut, berapa ramaikah yang masih kekal berniaga? Berapakah pula anggota veteran yang tergolong dalam kategori B40 di Sabah? Adakah terdapat anggota yang belum lagi memiliki rumah sendiri? Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai penyakit kronik? Sejauh manakah mereka dibantu? Kedua, saya ingin mendapatkan penjelasan dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera serta anak syarikat di bawahnya. Apakah prestasi terkini syarikat-syarikat tersebut? Sejauh manakah impak pandemik COVID-19 memberikan kesan ke atas operasi syarikat? Di samping itu juga, saya juga memohon penjelasan berkenaan strategi dan langkah-langkah kementerian bagi meningkatkan semula dividen LTAT ke suatu paras yang lebih baik berbanding tiga tahun kebelakangan ini. Butiran 020200 – Pertahanan Darat. Sewaktu kempen Pilihanraya Negeri Sabah tahun lalu, Yang Berhormat Menteri Pertahanan yang merupakan Perdana Menteri ketika itu telah menyatakan bahawa sejumlah RM14 bilion diperuntukkan bagi menambah aset anggota dan membina kem-kem tentera di Sabah dalam masa terdekat. Sudah setahun lebih berlalu, saya mohon diperincikan jumlah RM14 bilion ini. Saya juga ingin mengetahui status cadangan daripada Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini berkenaan pemindahan kekuatan tentera Kem Lok Kawi ke Pantai Timur Sabah sementara menunggu Kem Tentera Lahad Datu siap dan beroperasi sepenuhnya. Butiran 020300 – Pertahanan Maritim, Butiran 00300 – Pembinaan (Tentera Laut) dan juga Butiran 00400 – Kelengkapan (Tentera Laut). Pengurangan sebanyak RM59 juta khususnya di bawah kod aset di bawah Butiran Pertahanan Maritim dan saya ingin bertanya, kenapa berlaku pengurangan tersebut? Dua butiran lain pula diperuntukkan masing-masing RM68.9 juta dan RM1 bilion. Saya mengharapkan agar jumlah RM1 bilion itu merupakan pembelian aset baharu yang akan diletakkan di Sabah khususnya di pantai timur. Saya juga ingin menyentuh mengenai isu kapal LCS. Bulan lalu Yang Berhormat Menteri maklumkan bahawa TLDM bakal memperoleh kapal LCS yang pertama pada tahun 2025. Walaupun Yang Berhormat Menteri telah memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membayar wang lebih akibat kelewatan ini, namun sebenarnya masa telah dibuang begitu sahaja merupakan harga yang lebih mahal terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia. Memandangkan butiran-butiran di Kementerian Pertahanan tidak diperincikan seperti kementerian lain, saya memahaminya atas alasan keselamatan, namun adalah lebih baik selepas ini kementerian mencari satu kaedah yang sesuai bagi memastikan checks dan balances seperti melibatkan Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum sebarang pembelian aset oleh kerajaan dilakukan. Seterusnya saya ingin bertanya, daripada jumlah RM1.1 bilion yang diperuntukkan kepada tentera laut tahun hadapan, berapakah jumlah yang akan dibayar bagi tujuan pembelian kapal LCS? Butiran 030400 – Pengoperasian di ESSZONE. Peruntukan di bawah butiran ini tidak berubah dan sebenarnya jumlah ini tidak mencukupi berbanding ancaman keselamatan yang wujud di Pantai Timur Sabah. Saya lihat juga tiada kod bidang bagi aset di bawah butiran ini, sedangkan keperluan penambahan aset...
Yang Berhormat.
...Di kawasan ini sememangnya diperlukan. Sedikit lagi.
Tidak boleh Yang Berhormat.
Sedikit sahaja.
Saya tidak habis lagi, ada satu lagi kementerian.
Penutupan.
Silakan.
Mohon juga dan penjelasan...
10 saat sahaja Yang Berhormat, please.
Penutupan.
Tidak boleh.
Penggulungan, penggulungan. Gulung, gulung.
10 saat.
Okey. Mohon juga penjelasan, berapakah aset tentera yang diletakkan di sepanjang kawasan ESSZONE ini? Berapakah aset yang perlu ditukar? Adakah kementerian bercadang menambah bot-bot pintas laju FIC? Satu lagu yang berkenaan dengan berita viral yang baru kita dapat di sosial media di mana ia...
Yang Berhormat, banyak lagi orang Yang Berhormat. Please.
Okey. Terima kasih. Papar mengundur diri.
Terima kasih. Yang Berhormat Dungun, lima minit ya.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi atas keizinan perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertahanan ini. Saya ke Butiran 010100 – Pengurusan Am. Pertama, pada tahun lepas, kita dikejutkan dengan berita pendakwaan di mahkamah terhadap bekas pegawai tinggi tentera yang melibatkan jenayah menerima dan meminta suapan daripada sebuah syarikat kontraktor berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan. Soalan saya, adakah kementerian telah melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi perkara seumpama itu berulang lagi terutamanya melibatkan pegawai-pegawai tertinggi? Kedua, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) telah lama berkhidmat sebagai kor teras dalam memastikan pembangunan rohani tidak diabaikan dalam perkhidmatan ATM. Soalan saya, apakah keberkesanan pengisian KAGAT sehingga kini dalam membentuk keperibadian perajurit Muslim yang bertakwa? Kepada perajurit non-Muslim, bagaimanakah pengisian kerohanian diberi kepada mereka? Ketiga, adakah ATM mempertimbangkan untuk menjadikan Unit Pertahanan Siber sebagai cabang utama ATM yang keempat bagi menangani ancaman siber yang semakin giat pada waktu ini. Keempat, adakah kementerian merancang untuk menambah peruntukan biasiswa pendidikan kepada pegawai dan anggota ATM bagi menambah baik kualiti sumber manusia pertahanan negara?
Kelima, bolehkah dinyatakan nisbah kaum dan bangsa dalam semua perkhidmatan ketenteraan dalam ATM? Pohon jawapan bertulis kepada soalan nombor lima ini. Seterusnya Butiran 020100 – Bantuan Bersama. Apakah kementerian akan mempertingkatkan keupayaan hospital medan yakni lapangan yang telah terbukti keupayaannya dalam memberi perkhidmatan sokongan kepada Kementerian Kesihatan ketika pandemik COVID-19? Butiran 020200 – Pertahanan Darat. Apakah kementerian mempunyai perancangan untuk menambah bilangan kereta kebal bagi menyokong ketumbukan sebanyak 48 buah kereta kebal bernama PT-91M Pendekar yang dilihat masih kecil bagi negara kita? Seterusnya, sehingga kini, terdapat beberapa jenis bilangan kereta perisai telah digunakan oleh Tentera Darat Malaysia seperti ACV-300 Adnan dan KIFV dan akan menerima AV8 Gempita. Soalan saya, berapakah bilangan kereta perisai yang sedia ada yang benar-benar berfungsi sepenuhnya pada waktu ini? Ketiga, kita akan menerima sebanyak 17 unit meriam Howitzer 105mm pada tahun ini sebagai penambahan kepada aset artileri yang sedia ada. Soalan saya, adakah aset-aset artileri ini sudah mencukupi untuk ditempatkan di seluruh negara? Keempat, pada waktu ini, Tentera Darat Malaysia mempunyai Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang terdiri daripada 10 buah helikopter AgustaWestland AW109 dan empat buah helikopter Sikorsky SH-3 Sea King yang diwarisi dari TUDM. Apakah kementerian bercadang mempertingkatkan bilangan helikopter bagi menyokong operasi PUTD ini? Seterusnya ialah Butiran 020300 – Pertahanan Maritim. Soalan saya yang pertama, adakah kementerian merancang untuk menambah bilangan kapal selam yang hanya ada dua buah sahaja pada waktu ini bagi menjaga kedaulatan lautan kita yang sangat luas? Kedua, apakah kesiapsiagaan TLDM pada waktu ini sudah mencukupi bagi menangani ancaman dari kapal tentera laut negara China yang sentiasa menceroboh perairan negara kita? Seterusnya ialah Butiran 020400 – Pertahanan Udara. Saya dimaklumkan bahawa terdapat enam buah light combat aircraft dalam pertimbangan pembelian oleh pihak kementerian bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada waktu ini. Apakah status rundingan ini? Kedua, apakah kementerian merancang untuk melengkapkan bilangan jet pejuang FA-18D yang berjumlah lapan buah pada waktu ini kepada 16 buah untuk melengkapkan satu skuadron jet pejuang negara. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Yang Berhormat Bukit Bendera.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Bajet 2022 untuk Kementerian Pertahanan ini memperuntukkan RM16.14 bilion. Ini merupakan peningkatan berbanding RM15.86 bilion tahun 2021, peningkatan sebanyak 1.8 peratus. Terdapat trend peningkatan daripada segi pembangunan dan diperuntukkan RM5.039 bilion merupakan angka tertinggi untuk lima tahun kebelakangan ini. Perbelanjaan pertahanan Malaysia telah melepasi satu peratus GDP yang sebelum ini dikawal sekitar satu peratus kerana GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita mencecah ke angka RM1.3 trilion dan RM1.4 trilion. Tuan Pengerusi, Butiran 00600 – Kelengkapan (Tentera Udara). Terdapat peningkatan bajet pada tahun 2022 ke RM1.685 bilion. Saya ingin meminta penjelasan Menteri tentang perkara ini. Berkenaan dengan big item purchase, adakah ia berkaitan dengan skuadron light combat aircraft yang kita ingin beli? Tuan Pengerusi, setiap kali kita membaca berita tentang helikopter Nuri terhempas, begitu juga baru-baru ini pesawat Hawk 108 terhempas di pangkalan udara Butterworth. Saya ingin ucapkan takziah kepada keluarga juruterbang yang maut. Apakah butiran yang saya sebut itu sebahagian untuk menggantikan Nuri dan juga Hawk 108 yang usang?
Tuan Pengerusi, selain daripada terdapat bajet besar ini, orang awam juga menanyakan cara perolehan oleh Kementerian Pertahanan. Baru-baru ini Transparency International telah mengeluarkan Government Defense Integrity Index (GDI) 2020 dan Malaysia skor D, markah 45. Lemah daripada segi memerangi rasuah dalam sektor pertahanan. Defense White Paper, Kertas Putih Pertahanan telah menggariskan perlu ada satu jawatankuasa pelaburan pertahanan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Apakah status penubuhan jawatankuasa ini dan juga status Pelan Pelaburan Pertahanan Negara, Dasar Industri Pertahanan Negara, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan. Minta penjelasan Menteri kerana telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan. Tuan Pengerusi, terdapat Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, telah menyatakan elemen penyelewengan perolehan antara lain kes kapal littoral combat ship (LCS) dan 16 kes land swap yang dibongkar oleh laporan tersebut dan terdapat kerugian dan ketirisan melibatkan nilai melebihi RM500 juta dana awam. Saya mendesak kerajaan supaya laporan JKSTUPKK ini declassified supaya orang awam boleh mengetahui penyelewengan dan juga ketirisan defense purchases. But, perlu ada pembaharuan daripada segi prosedur or daripada segi defense purchases dan mereka yang berlaku salah dihadapkan ke mahkamah. Tuan Pengerusi, Butiran 08400 – Perumahan Angkatan Tentera Malaysia, telah diperuntukkan RM388 juta. Mengikut laporan audit tahun 2018, terdapat melebihi 12,000 rumah keluarga angkatan tentera yang tidak dihuni. Apakah status sekarang? Ini sama ada peruntukan ini akan menyediakan berapa biji atau berapa unit rumah untuk Angkatan Tentera Malaysia? Tuan Pengerusi, Butiran 020000 – Pertahanan Negara. Saya perhatikan bajet item pertahanan mendapati bahawa paling banyak ialah sampai RM6 bilion untuk darat dan diikuti udara RM1.7 bilion dan maritim RM1.5 bilion dan terakhir sekali, bantuan bersama RM1.3 bilion. Kertas Putih Pertahanan telah menggariskan Malaysia sebagai maritime nation. Perlu ada recalibration structure ketiga-ketiga pertahanan kita supaya prioriti kepada maritim dan juga joint services untuk koordinasi operasi.
Apakah usaha untuk safeguard kepentingan Malaysia di Laut China Selatan apabila laporan demi laporan pencerobohan kapal dan Tentera Udara negara dan juga di ruang udara perairan kita? Telah dilaporkan bahawa terdapat begitu banyak 127 buah aset China Coast Guard dan 37 buah aset People’s Liberation Army Navy yang mencerobohi sekitar Beting Patinggi Ali. Saya meminta supaya perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana sekiranya kita tidak menjalankan military diplomacy, tindak balas secara diplomatik, kemudian ia akan menjadi satu fait accompli dan ini sebahagian daripada grey warfare yang dilakukan oleh negara tersebut. Oleh itu Wisma Putra perlu ada diplomatic protest setiap kali pencerobohan dan military diplomacy perlu ditegaskan untuk mempertahankan perairan dan ruang udara negara kita. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Yang Berhormat Sik.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus kepada Butiran 020400 – Pertahanan Udara. Dalam hal berkaitan pertahanan udara, termasuk kita melihat konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) yang merupakan konsep pertahanan yang sedang dilaksanakan oleh negara kita termasuk juga dilaksanakan oleh kebanyakan negara-negara Asia yang lain. Ia perlu dijadikan kayu ukur ataupun indikator kepada kesiapsiagaan pertahanan negara daripada ancaman sebarang musuh yang sekarang ini kita berhadapan, khususnya di Laut China Selatan.
Saya melihat kekurangan anggota bagi tujuan pengurusan di Bahagian Pasukan Simpanan Sukarela TUDM telah mengurangkan tahap efisien pengoperasian, bahkan tidak dapat beroperasi dengan lancar, dengan bebanan tugas dan hala tuju yang perlu dijelaskan bagi melahirkan pegawai dan staf yang berupaya menjadi benteng pertahanan kedua, jika dibandingkan dengan tahap kesiapsiagaan oleh Rejimen Askar Wataniah bagi Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Simpanan Sukarela TLDM. Dilihat tiada lagi pengambilan Pasukan Simpanan Sukarela PLAS TUDM ini di Kuantan, khususnya sejak tahun 2013 yang lalu bagi melatih anggota-anggota simpanan lain-lain pangkat, membantutkan lagi usaha bagi merealisasikan pertahanan udara yang menyeluruh. Kita melihat pelan rancangan United States Air Force Reserve Command yang berupaya menyediakan 14 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota Tentera Udara Amerika. Soalan saya, apakah perancangan pihak kementerian bagi memperkasakan lagi unit-unit PALAPES udara di universiti-universiti awam bagi melatih graduan berpotensi tinggi sebagai pegawai simpanan TUDM yang akan menjadi tunjang pertahanan negara, pertahanan udara kita? Selain itu, apakah bentuk organisasi yang akan dikembangkan oleh pihak kementerian, memandangkan pasukan simpanan Tentera Udara yang ketika ini dilihat tiada unit-unit markas simpanan Tentera Udara selain unit tumpangan di universiti awam? Seterusnya Butiran 01200 – Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (Lain- lain). Anggaran tahun 2022 secara langsung bagi butiran ini agak tinggi iaitu RM40.7 juta. Saya ingin memohon perincian bagi projek penyelidikan yang akan dilaksanakan di bawah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan ia tidak harus diabaikan kerana dikhuatiri menjadi salah satu projek “gajah putih”, seterusnya tidak diteruskan untuk disiapkan projek-projek ini. Kita sangat risau melihat perkembangan R&D pertahanan Malaysia dan ia perlu ditambah baik dan dipertingkatkan. Saya melihat pegawai penyelidik daripada STRIDE perlu lebih kompeten bukan hanya mencukupkan KPI tahunan melalui penerbitan dan menghadiri kursus-kursus tetapi harus berdaya saing seperti institut penyelidikan negara jiran termasuklah Lembaga Penerbangan dan Antarariksa Nasional di Indonesia dan A\STAR di Singapura. Kerisauan ini semakin meninggi apabila negara hanya bergantung kepada perolehan import dari luar negara melalui tender-tender tertutup. Juga saya ingin membangkitkan isu pemilikan blueprint apabila sesuatu projek dirancang dilaksanakan terutamanya kelengkapan yang melibatkan penyelenggaraan sesuatu komponen aset ketenteraan yang mendatangkan masalah apabila sesebuah syarikat yang dilantik menutup operasi pengeluaran komponen seperti yang terjadi kepada pesawat Aermacchi MB-339CD. Sejauh manakah kementerian mempunyai hak pemilikan blueprint setiap komponen aset ketenteraan daripada kontraktor pembekal yang dilantik sebagai alternative reverse engineering sekiranya mereka mempunyai masalah pembekalan akibat penutupan operasi kelak? Saya mencadangkan agar setiap perjanjian pembekalan aset ketenteraan diperincikan dengan lebih jelas bagi butir-butir pemilikan blueprint butiran lukisan kejuruteraan secara komprehensif, susunan pemasangan komponen, data material dan data teknik bagi menjamin kelestarian operasi ketenteraan yang melibatkan pertahanan negara. Terakhir, saya ingin bertanya, apakah status pembangunan peluru berpandu Taming Sari KX98 yang dibangunkan oleh STRIDE dan kali pertama yang pernah dipertontonkan kepada umum semasa perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan 2007 yang lalu. Adakah ia sudah mencapai kematangan daripada segi teknologi persenjataan canggih dan bolehkah ia dikomersialkan khususnya pada zaman Revolusi Industri 4.0 sekarang? Tuan Pengerusi, terima kasih.
Yang Berhormat Lumut. Yang Berhormat Lumut ganti Yang Berhormat Sepang ya?
Ya. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Pengerusi, sebelum saya masuk kepada butiran, saya ingin merujuk kepada petunjuk-petunjuk ataupun outcome tadbir urus terbaik di mana peratusan pencapaian Piagam Pelanggan berkurangan daripada 90 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan anggaran tahun 2022 kepada 80 peratus. Saya ingin penjelasan, mengapakah peratusan ini menurun?
Industri Pertahanan Tempatan dan R&D, peratusan hasil R&D yang berpotensi untuk dikomersialkan ialah 100 peratus. Cantik, saya harapkan. Kementerian boleh memberikan penjelasan, apakah hasil-hasil R&D yang telah dapat dikomersialkan sepanjang tahun yang lalu dan yang akan datang? Insya-Allah. Seterusnya dalam B.60 Butiran 010200 – Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran. Kita baru membaca dalam satu penulisan seorang bekas tentera, pegawai waran something ya, meluahkan rasa tidak bangganya menjadi seorang veteran. Saya harap perkara ini dapat ditangani oleh kementerian secara lebih bersungguh-sungguh kerana mereka sekarang ini sedang mengalami masalah daripada segi pelanjutan usaha ekonomi mereka selepas menjadi tentera kerana persediaan tidak cukup dan peluang-peluang yang tidak bertambah. Seterusnya dalam B.60 Butiran 020400 – Pertahanan Udara. Disebutkan di situ peruntukan sebanyak RM633 juta untuk perkhidmatan dan bekalan. Ini juga ada satu berita yang kita dengar pagi tadi. Sebuah helikopter di Tamil Nadu yang membawa Panglima Angkatan Tentera India jatuh terhempas, membunuh 14 orang termasuk beliau. Jadi, ini menggambarkan bahawa aset kita perlu berada dalam keadaan yang terbaik bagi melindungi tentera kita daripada kejadian-kejadian sebegini. Jadi, saya ingin tahu sama ada jumlah ini yang turun dari tahun lepas mencukupi untuk melaksanakan tugas-tugas pembaikpulihan aset-aset kita yang ada. Seterusnya saya ingin bertanya mengenai P.60, Pembinaan Tentera Laut yang diperuntukkan ada dua di sini. Satu, kelengkapan. Satu lagi, pembinaan yang berjumlah RM1.152 bilion. Adakah ini juga peruntukan sebahagiannya untuk pembangunan LCS yang tergendala di Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut? Apakah langkah-langkah kerajaan sementara menunggu siapnya kapal yang pertama pada tahun 2025? langkah- langkah untuk memperkukuhkan pertahanan maritim kita di samping kawalan pantai kita kerana kita terlambat enam tahun untuk mendapatkan perolehan kapal yang pertama. Itu tidak menyebut lagi lima kapal yang lain yang kita belum dimaklumkan bila kita akan dapatnya ya. Seterusnya mengenai perumahan angkatan tentera. Saya balik kepada B.60 iaitu Butiran 033700 - Penggantian Perabot. Adakah ini juga termasuk bagi program pemulihan rumah-rumah tentera TLDM yang ada 32 blok di Pangkalan TLDM Lumut yang sedang dibaik pulih keseluruhannya dan telah mengambil masa yang panjang kerana peruntukan hanya membenarkan satu blok setahun untuk dibaik pulih?
Apakah kita tidak boleh pastikan bahawa rumah-rumah ini di baik pulih dengan lebih cepat supaya keselesaan angkatan tentera dapat diberikan jaminan yang terbaik. Begitu juga perumahan angkatan tentera yang dibuat oleh syarikat-syarikat yang berkaitan seperti LTAT. Adakah kementerian mengambil perhatian beberapa projek perumahan, terutamanya yang melibatkan pembelinya veteran-veteran atau ahli-ahli angkatan tentera yang tergendala, contohnya yang ada di kawasan saya di Lumut yang satu projek itu masih belum dapat dimasuki oleh mereka yang membelinya kerana kekurangan-kekurangan infrastruktur dan persiapan yang tertangguh? Jadi ini mungkin melibatkan kerugian kepada setengah daripada ahli-ahli angkatan tentera kita yang telah pun membeli dan memesan rumah-rumah tersebut. Tuan Pengerusi, terima kasih.
Yang Berhormat Jempol.
Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia. Terima kasih, Tuan Pengerusi mengizinkan saya untuk berbahas RUU Bekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertahanan. Butiran 01200 – Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (Lain-lain). Sebelum ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada menyatakan matlamat kerajaan untuk melancarkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara. Dasar ini amat penting dalam usaha memperkasakan industri pertahanan negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara pengeluar aset tentera. Ia selaras dengan hasrat kementerian sebelum ini untuk memiliki pesawat tempur buatan tangan sendiri menjelang tahun 2030. Soalan saya, apakah status terkini penggubalan dasar tersebut dan bilakah jangkaan pelancarannya? Menerusi dasar ini, Malaysia Defence City yang akan dibina di Bera atau di Lipis akan dibangunkan dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan berskala besar kepada penduduk luar bandar. Soalan saya, berapakah anggaran penjanaan pelaburan terus yang bakal diraih oleh peluang pekerjaan yang bakal dicipta menerusi Malaysia Defence City tersebut? Apakah aset pertahanan akan diberi penekanan oleh kerajaan setelah Malaysia Defence City dibangunkan kelak? Umum diketahui, kebanyakan aset pertahanan yang dimiliki pada masa ini dibeli daripada China, Itali, Turki dan Amerika Syarikat. Hal ini telah menimbulkan pelbagai masalah dari sudut penyelenggaraan aset dan kita terpaksa bergantung kepada negara luar. Justeru itu, saya menggesa kementerian agar mempercepatkan penubuhan Malaysia Defence City yang bakal mengubah landskap pertahanan negara. Perkara ini bagi membolehkan negara Malaysia dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara pengeluar aset tentera negara lain. Butiran 010200 – Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada kementerian yang komited dalam membantu seramai 204,000 orang veteran ATM. Meskipun tidak lagi berada dalam tempoh perkhidmatan, golongan tersebut hendaklah terus diberikan perhatian dan mendapat pembelaan yang sewajarnya. Mengenai aplikasi dalam talian MyVeteranMall yang telah dilancarkan baru-baru ini untuk kemudahan dan aktiviti keusahawanan secara digital kepada veteran ATM. Soalan saya, sejauh manakah sambutan dalam kalangan komuniti veteran ATM dan keluarga serta masyarakat luar setakat hari ini? Berapakah transaksi urusan jual beli yang telah berjaya dilakukan melalui platform tersebut? Apakah perancangan kementerian untuk memperkasakan dan mempromosikan aplikasi tersebut supaya dapat dalam kalangan masyarakat tempatan? Memandangkan kebajikan veteran ATM ini harus menjadi keutamaan kementerian dengan memberikan tumpuan penuh terhadap soal kebajikan, saya ingin mengetahui berapa peruntukan disediakan oleh kementerian bagi tahun hadapan untuk skim bantuan kebajikan mengikut pecahan yang merangkumi skim bantuan sara hidup, bantuan perubatan dan sebagainya? Bagi veteran ATM yang tidak menerima pencen pula iaitu seramai 73,800 orang, adakah terdapat sebarang skim baharu yang akan diperkenalkan oleh kementerian dalam masa terdekat? Saya amat memahami bahawa kerajaan sedang memberi tumpuan kepada usaha untuk memerangi COVID-19 yang menelan belanja yang begitu besar tetapi sekiranya skim yang berkaitan dapat diwujudkan, sudah tentulah ia dapat membantu veteran yang tidak berpencen, khususnya bagi mereka yang terjejas teruk sepanjang pandemik COVID-19.
Butiran 08400 – Perumahan Angkatan Tentera Malaysia. Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah menubuhkan Jawatankuasa Khas pada tahun ini untuk menangani isu perumahan anggota tentera. Saya difahamkan Blueprint Perumahan 2.0 sudah dirangka matlamatnya untuk membina 28,000 buah rumah Keluarga Malaysia angkatan tentera sehingga tahun 2030 yang selesa dan kondusif. Soalan saya, di manakah lokasi kawasan tersebut dalam blueprint tersebut dan berapakah anggaran kos yang diperlukan oleh kementerian untuk mencapai matlamat tersebut? Berdasarkan peruntukan sebanyak RM389 juta pada tahun hadapan, berapakah bilangan jumlah unit rumah yang akan dibeli daripada syarikat pemaju ataupun dibina baharu sepanjang tahun 2022? Bagi veteran ATM pula, adakah terdapat sebarang perancangan baharu untuk membantu golongan tersebut memiliki rumah dengan rumah mampu milik? Hal ini kerana masalah terdapat golongan veteran ATM yang tidak mempunyai perumahan sendiri terpaksa menyewa walaupun telah tamat tempoh perkhidmatan. Saya mencadangkan agar kementerian menetapkan kuota bagi golongan veteran ATM di setiap lokasi perumahan rumah Keluarga Malaysia angkatan tentera. Sekian, saya harap segala yang dibangkitkan dapat penyelesaian dan jawapan daripada Yang Berhormat Menteri Pertahanan. Terima kasih.
Yang Berhormat Ipoh Timur.
Terima kasih, Tuan Pengerusi. Bagi Maksud Bekalan 60 Butiran 020000 – Pertahanan Negara. Kita sedia maklum bahawa dalam satu, dua dekad yang lepas, kita nampak isu berkenaan dengan projek-projek yang sakit, projek-projek gagal di bawah Kementerian Pertahanan. Sebagai contoh seperti yang telah pun dibangkitkan oleh ramai Ahli-ahli Yang Berhormat tadi, projek littoral combat ship (LCS) yang melibatkan RM9 bilion sampai sekarang telah menjadi suatu projek sakit tanpa hala tuju yang jelas daripada kerajaan. Manakala pada tahun 2017 pula, projek yang melibatkan land swap yang disahkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang telah menyatakan projek land swap mendatangkan kerugian kepada MINDEF. Projek-projek pembinaan kem baharu pada ketika itu didapati hanya bertujuan untuk memindah pengundi-pengundi bagi tujuan PRU-14 dan tidak mendatangkan hasil kepada MINDEF. Saya hendak tanya kepada pihak kementerian di bawah tajuk ini. Apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak kementerian untuk memastikan setiap satu sen yang diperuntukkan di bawah Butiran 020000 ini adalah akan digunakan dan dibelanjakan dengan baik? Bagi saya, MINDEF merupakan satu kementerian yang begitu penting bagi negara dan setiap satu sen haruslah digunakan dengan cekap dan berhemah. Apa yang akan terjadi sekiranya berlaku lagi projek-projek yang tidak mempunyai rancangan rapi, tidak mempunyai rancangan awal dan dengan tujuan yang sepatutnya untuk angkatan tentera kita. Pada Disember 2019, Yang Berhormat Menteri Pertahanan pada ketika itu telah pun membentangkan Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan Rancangan Pertahanan Malaysia untuk 10 tahun yang akan datang dengan menyentuh peningkatan ancaman keganasan, ketegangan, ketenteraan di Laut China Selatan, serangan siber dan pemerdagangan manusia serta dadah. Selepas Kertas Putih Pertahanan dilancarkan, ada satu laporan yang menyatakan dengan izin devil is in the procurement yang mana ia dengan jelas telah menyatakan
bahawa masalah yang kita hadapi sekarang berkenaan dengan kelengkapan ataupun peralatan oleh Kementerian Pertahanan. Memang adalah isu perolehan merupakan isu yang paling penting.
Bagaimana kita dapat menangani isu perolehan kerajaan, khasnya dalam Kementerian Pertahanan adalah kunci ke arah suatu hala tuju yang betul. Ini dinyatakan di bawah ini– Berkaitan dengan butiran di bawah maksud Pembangunan B.60 pada Butiran 00100 – Pembinaan (Tentera Darat), sehingga Butiran 00600 – Kelengkapan (Tentera Udara), yang mana ia melibatkan pembinaan dan kelengkapan tentera laut, tentera darat dan juga tentera udara kita. Saya hendak mengambil kesempatan ini untuk bertanya kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan sekarang, apakah status pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan? Sama ada kerajaan bersedia menggunakan pendekatan dwi-partisan ke atas Kertas Putih Pertahanan tersebut? Sejak pertukaran kerajaan, sama ada kerajaan telah melakukan libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan untuk pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan? Kita sekian maklum, sekiranya kita melaksanakan satu pentadbiran yang baik tanpa ketirisan, peruntukan yang dijimatkan boleh digunakan untuk menaik taraf peralatan dan juga kelengkapan tentera darat, tentera laut dan tentera udara. Juga, untuk tujuan meningkatkan kebajikan anggota-anggota kita. Segala-galanya haruslah bermula daripada hasrat atau satu political will, dengan izin, daripada Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan Kertas Putih Pertahanan. Dengan itu, sekian daripada saya. Terima kasih.
Yang Berhormat Setiu.
Terima kasih, Tuan Pengerusi. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya pergi kepada Butiran 020200 – Pertahanan Darat. Isu buli dalam kem tentera semakin membimbangkan. Terbaru, tular satu cicipan yang menyatakan bahawa wujud budaya buli sesama tentera. Namun, tindakan yang diambil langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka yang melakukan jenayah tersebut. Oleh itu, sehingga kini apakah keputusan terkini berkenaan isu tersebut? Jika benar wujudnya budaya sebegitu dalam kalangan tentera, apakah langkah kerajaan bagi menangani isu ini daripada terus berlaku? Butiran 08400 – Perumahan Angkatan Tentera Malaysia. Saya mendapat banyak aduan yang mana kebanyakan paip yang dipasang di perumahan tersebut telah berkarat kerana telah lama tidak diselenggarakan. Oleh itu soalan saya, adakah peruntukan yang meningkat sehingga mencecah sebanyak RM388,867,200 ini mengambil kira pertukaran saluran paip ini? Selain itu, Butiran 030700 – Penggantian Perabot Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Saya meneliti peruntukan bagi butiran ini mencecah sebanyak RM23,000,000 berbanding tahun lalu yang tiada peruntukan diberikan. Oleh itu soalan saya, berapakah kekerapan penukaran perabot rumah keluarga angkatan tentera dilakukan? Adakah akan melibatkan semua jenis rumah ataupun hanya rumah-rumah anggota berpangkat tertentu sahaja? Butiran 020400 – Pertahanan Udara. Seperti yang semua maklum, isu kematian anggota tentera dalam nahas sebuah pesawat pejuang Hawk 108 di Landasan Pengkalan Udara Butterworth pada 16 November lalu amat mendukacitakan kita. Ini merupakan kali kelapan pesawat ini terhempas semenjak tahun 1996. Berdasarkan kajian yang dikeluarkan, jika dilihat daripada segi sudut struktur pesawat, kegagalan teknikal seperti kelesuan rangka pesawat yang uzur boleh menjadi punca nahas disebabkan oleh ketahanan struktur yang semakin lemah. Oleh itu, apakah kayu ukur sesebuah pesawat yang selamat digunakan? Adakah faktor keuzuran diambil dan dikira? Adakah peruntukan yang disalurkan bagi meningkatkan kapasiti aset ketenteraan negara akan menggantikannya dengan pesawat lain? Jika ya, pesawat dari negara manakah yang
akan menggantikan pesawat tersebut? Selain itu, penggantian komponen juga diperlukan mengikut fasa kitaran masa yang telah ditetapkan bagi memastikan pesawat sentiasa diselenggarakan dan berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Oleh itu, apakah langkah kementerian bagi memastikan penyelenggaraan dijalankan pada waktunya? Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga anggota yang terhempas tersebut. Tuan Pengerusi, saya juga mendapat maklum bahawa timbul isu yang mana pesawat yang digunakan ketika latihan tidak bersesuaian dengan waktu malam. Jika ya, apakah langkah kementerian bagi memastikan peralatan yang digunakan ketika latihan adalah selamat digunakan? Sekali gus, mampu mengelakkan insiden sebegini daripada berlaku lagi. Butiran 010200 – Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran. Saya menyokong penuh usaha kementerian yang telah menyediakan inisiatif menggalakkan veteran berniaga melalui Program Bimbingan Usahawan dan Peruncitan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi veteran ATM. Sehingga kini, berapakah jumlah veteran yang terlibat dengan inisiatif tersebut? Serta sejauh manakah penyertaan yang diberikan oleh para veteran? Apakah langkah yang disediakan bagi menarik lebih ramai veteran ATM menyertainya? Tuan Pengerusi, selain daripada bimbingan dalam bidang keusahawanan, apakah bentuk pekerjaan lain yang disediakan oleh kerajaan untuk para veteran bagi memastikan taraf sosioekonomi para veteran ATM lebih terjamin? Sekian, Tuan Pengerusi.
Yang Berhormat Pasir Gudang.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin membahaskan maksud Pembangunan P.60 berkaitan pada Butiran 00600 – Kelengkapan (Tentera Udara). Dalam Buku Belanjawan ini, kelengkapan tentera udara iaitu anggaran peruntukannya bagi tahun hadapan meningkat menjadi sebanyak RM1,685,100,000 berbanding sebelumnya iaitu pada tahun 2021 dengan hanya sebanyak RM1,106,157,708. Jadi, saya ingin membahaskan tentang soal kelengkapan tentera udara iaitu merujuk kepada kelengkapan tentera udara di Pasir Gudang. Ada suatu tempat yang dipanggil Bukit Luncu dalam kawasan Pasir Gudang. Di Bukit Luncu ini terdapat radar yang bertugas untuk TUDM yang sangat penting, yang menjaga ruang udara di selatan Semenanjung. Saya pernah sampai, melawat ke pusat TUDM di Bukit Luncu itu. Saya melihat memang peranan TUDM di situ sangat penting. Pada hemat saya, aset radar itu mungkin masih baik, memang berfungsi menjalankan tugasnya. Akan tetapi saya berpendapat pada zaman sekarang ini yang mana negara-negara jiran kita ada pesawat-pesawat– Sama ada negara jiran kita atau negara yang lain, kita kena waspada yang mana pesawat-pesawat tempur yang canggih, yang kadang-kadang sukar dikesan oleh radar. Jadi, kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertahanan yang ada di sini, kalau ada masa boleh melawat itu, cuba lihat keadaan di situ. Mungkin dengan peruntukan yang ada, kita beli radar yang lebih canggih, yang boleh dapat kesan– Radar yang sudah ada itu mungkin okey lagi tapi untuk keselamatan negara kita. Hal ini kerana di selatan Johor ini sangat strategik. Di situ ada Koridor Pembangunan Ekonomi Iskandar Malaysia, tidak jauh dari situ ada RAPID PETRONAS iaitu sebuah pusat oil & gas. Jadi, bermakna TUDM di Bukit Luncu, Pasir Gudang itu perlulah dilengkapkan dengan sebaik mungkin kerana negara kita ini terletak di Selat Melaka, di Laut China Selatan. Kita pun pernah mengalami pesawat kita MH370 yang hilang sampai sekarang.
Jadi saya membangkitkan soal itu, TUDM di Bukit Lunchu di Pasir Gudang. Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya hendak beritahu saya kasihan dengan TUDM ini.
Hendak naik ke puncak itu sangat cantik tempatnya. Panoramanya sangat baik, sangat indah tetapi hendak naik ke Bukit Lunchu ke pusat radar itu jalannya teruk, ada jalan private dan sebagainya, sampah ada— tidak selayaknyalah. Jadi saya sudah berhubung dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Pegawai Daerah Johor Bahru tolonglah kita ada di puncak sana itu ada pusat radar, jalan raya itu eloklah kemas. Jangan tempat orang buang sampah, buang tayar, bakar itu dan bakar ini. Jadi tidak ada kesannya penat sudah, letih. Jadi kalau Yang Berhormat Timbalan Menteri bersuara kah tegur mungkin dia ambil perhatian. Jadi itu sahajalah Tuan Pengerusi. Terima kasih.
Selepas ini Yang Berhormat Padang Serai, Yang Berhormat Tampin, kemudian Yang Berhormat Timbalan Menteri jawab 20 minit. Silakan, Yang Berhormat Padang Serai.
Terima kasih, Tuan Pengerusi. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertahanan atas usaha untuk mengatasi masalah veteran. Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Seterusnya ke Butiran 010200 – Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran. Saya merupakan seorang veteran dan saya amat berbangga menjadi seorang veteran tetapi saya agak kecewa apabila melihat di dalam Belanjawan 2022 di mana kerajaan telah mengurangkan peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) daripada RM105.3 juta kepada hanya RM92.3 juta sahaja di bawah kod 010200. Kerajaan tahu bahawa memang ada jurang yang sangat beza dengan pencen lama dengan pencen baharu. Kerajaan telah gagal untuk menyelaraskan pencen lama dengan pencen baharu semasa menyelaraskan pencen. Penyelarasan pencen ini perlu dalam memastikan jurang itu mampu dikecilkan. Kerajaan kena jelas bahawa veteran ini merupakan hero negara di mana mereka sanggup korbankan nyawa dan masa depan demi melindungi negara ini daripada komunis dan penjajahan luar. Akan tetapi apabila pengorbanan telah dilakukan, malangnya kerajaan biarkan begitu sahaja veteran ini seperti alat lama yang tidak berguna lagi. Ini amat menyedihkan kepada veteran. Kerajaan kena jelas bahawa ini merupakan salah kerajaan yang mengabaikan kebajikan mereka walaupun isu ini sudah diangkat banyak kali. Apabila kita bercakap mengenai veteran yang tidak berpencen, kerajaan kena jelaskan bahawa anggota tentera tidak boleh berhenti 10 tahun, 15 tahun dan 18 tahun tetapi kerajaan yang salah kerana memberi peluang untuk mereka berhenti dengan tidak mengambil kira risiko yang akan dihadapi oleh mereka seperti mana yang sekarang kerajaan perlu ambil tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anggota-anggota yang berhenti tanpa pencen. Kerajaan juga perlu mencari jalan bagaimana boleh memberi elaun khas kepada mereka supaya hidup mereka akan kembali yang boleh dibanggakan kepada masyarakat. Kerajaan harus betulkan kesilapan yang berlaku terhadap anggota berhenti tanpa pencen. Butiran 020100 – Bantuan Bersama. Saya amat tertarik apabila meneliti Belanjawan 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion untuk butiran Bantuan Bersama dengan kod 020100. Untuk pengetahuan rakan-rakan, peruntukan ini telah kurang jika berbanding dengan tahun 2021. Disebabkan peruntukan ini kurang, adakah ini satu alasan untuk kerajaan tidak memberi elaun PJM? Saya juga amat sedih. Dahulu kerajaan mencari anggota hingga ke lubang cacing untuk memberi Pingat Jasa Malaysia tetapi sekarang kerajaan telah gagal memberi elaun seperti mana diberikan pada tahun-tahun lepas. Bolehkah kita percaya sama kerajaan sekarang untuk meyakinkan para penerima PJM? Kepada kerajaan perlulah diteruskan untuk memberi elaun sebanyak RM500 dalam belanjawan ini. Butiran 020200 – Pertahanan Darat. Pertahanan merupakan satu perkara yang amat penting dalam melindungi kedaulatan negara. Kerajaan telah memperuntukkan
sebanyak RM5.6 bilion untuk mempertahankan negara di bawah kod 020200 dan telah berlaku sedikit penurunan berbanding tahun lepas. Pertahanan negara bukan hanya penting dalam melindungi rakyat tetapi ia juga menjadi faktor dalam meyakinkan pelabur-pelabur luar untuk melabur dalam negara Malaysia. Cuba kita bayangkan jika negara ini selalu berlaku pencerobohan hingga sumber dan kekayaan negara dicuri begitu sahaja. Saya percaya bahawa pelabur tidak akan berminat untuk melabur semasa keadaan ekonomi yang tidak stabil. Saya percaya fokus kerajaan sekarang mesti berpusat dalam membeli aset yang memainkan peranan yang besar seperti peralatan-peralatan canggih mengikut zaman moden yang ada. Kerajaan perlu fikir bahawa setiap pembelian ini merupakan satu pelaburan jangka masa panjang untuk negara. Butiran 020300 – Pertahanan Maritim. Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion untuk Butiran Pertahan Maritim dengan kod 020300. Maritim merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan disebabkan pertembungan kuasa besar di Laut China Selatan. Kerajaan kena jelas bahawa kita mesti bersedia bukan untuk berperang tetapi untuk melindungi sempadan negara daripada mana-mana pencerobohan. Ini merupakan masa di mana ATM memerlukan peruntukan yang lebih banyak dalam membeli aset terutama kapal-kapal peronda yang baharu dalam meningkatkan jumlah pertahanan maritim negara. Jika kita melihat dan berbanding dengan negara-negara jiran, kita jauh ketinggalan dalam jumlah peruntukan kepada pertahanan maritim. Perlu difikirkan untuk jangka masa panjang untuk negara. Butiran 020400 – Pertahanan Udara...
Yang Berhormat..
Udara merupakan satu kawasan yang perlu diberi perhatian dalam memastikan kawasan tersebut dijaga malah dilindungi. Kerajaan telah memperuntukkan RM1.7 bilion bagi pertahanan udara negara di bawah kod 020400. Saya melihat bahawa kerajaan mesti berani dalam memfokuskan dalam menyediakan untuk meningkatkan aset pertahanan buatan tempatan. Ini penting dalam memastikan negara mampu mengurangkan kebergantungan dari negara luar dari sudut aset pertahanan. Walau bagaimanapun, kapal-kapal jet boleh dikatakan berbanding dengan negara-negara lain yang berjiran dengan negara kita. Amat menyedihkan, kerajaan juga jangan pandang mudah dan mesti mula beli jet-jet pejuang dan juga radar yang canggih mengikut zaman sekarang. Saya percaya bahawa Malaysia masih jauh ketinggalan dari sudut penggunaan aset baru tetapi dari sudut semangat dan juga kepakaran kita adalah antara yang terbaik. Saya tidak nafikan anggota tentera kita masih siap sedia untuk menghadapi jika ada peperangan bila-bila masa untuk mempertahankan negara yang kita cinta. Itu sebab kerajaan kena faham mereka sebagai tentera. Pada masa yang sama, elaun rumah untuk anggota tentera perlu dikaji semula memandangkan sewa rumah di bandar-bandar melambung naik dan ini menyusahkan anggota tentera untuk diatasi. Zaman dahulu iaitu punca ramai anggota tidak berkhidmat, jangan perkara ini dilindungi lagi. Jika semak balik berapakah elaun rumah yang diberikan pada tahun 70- an, 80-an dan 90-an dan sehingga hari ini, saya berharap kerajaan memandang serius apa yang saya suarakan ini kerana ia melibatkan masa depan negara dan keselamatan rakyat Malaysia.
Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terakhir, Yang Berhormat Tampin sebelum Yang Berhormat Menteri jawab. Silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. B60 Kementerian Pertahanan dengan menjurus kepada Butiran 010200 – Jabatan Hal Ehwal Veteran. Telah dikurangkan daripada RM105.3 juta kepada RM92.7 juta. Mengapa peruntukan ini dikurangkan? Apakah peruntukan yang diberikan itu mencukupi dalam menyelesaikan masalah veteran? Apakah kemudahan yang menjadi keutamaan perlu diselesaikan dengan peruntukan itu oleh kerajaan dalam menangani isu veteran tentera? Saya ingin tahu apakah perkembangan perkara yang berkaitan dengan bantuan khas bulanan yang pernah dicadangkan oleh kerajaan bagi anggota yang menamatkan perkhidmatan? Saya dimaklumkan sistem maklumat veteran tidak berpencen tidak dikemas kini dan tidak dilaksanakan secara automatik malahan apa jua permohonan bantuan kebajikan daripada JHEV terlalu banyak birokrasi dan menyukarkan. Saya ingin tahu sejauh mana JHEV telah berjaya meningkatkan taraf sosioekonomi veteran. Apakah JHEV pasti tawaran pekerjaan daripada syarikat ataupun mana-mana agensi berpadanan dengan golongan veteran kerana saya dimaklumkan terdapat di kalangan veteran ditawarkan jawatan tidak sejajar dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki. Saya berharap perkara ini dapat dibaiki demi menjaga kebajikan anggota veteran tentera. Apakah kerajaan ada keinginan untuk mewujudkan suatu skim khas perumahan bagi anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan mereka sama ada berpencen ataupun tidak berpencen kerana masih ramai veteran tentera tidak mempunyai rumah sendiri.
Yang Berhormat Tampin, minta laluan sikit.
Silakan.
Terima kasih. Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Tampin. Kalaulah kiranya atas Butiran 020000 itu dapat kita masukkan Yang Berhormat Tampin, akan cadangan yang dikemukakan oleh Kertas Putih Pertahanan di mana secara tradisinya kita tahu struktur angkatan tentera kita dibahagikan kepada darat, udara dan laut dan secara tradisinya juga peruntukan belanjawan adalah dua kali untuk darat berbanding laut dan udara. Walaupun begitu, anggota tenteranya seramai 80,000 darat dan 15,000 masing- masing dalam udara dan laut. Yang Berhormat Tampin, apakah belum sampai masanya supaya secara tradisi berdepan dengan cabaran yang bukan lagi peperangan secara konvensional tetapi mengunjurkan ke depan apa yang diistilahkan sebagai peperangan hybrid warfare. The changing character of conflict. Masa depan yang bakal kita terpaksa hadapi, yang kita minta dijauhkan. Apakah sudah sampai waktunya satu rethinking, satu pemikiran semula dibuat supaya reform dan penstrukturan ini, pengintegrasian ini benar-benar dapat membayangkan persiapan negara, ketenteraan kita untuk berdepan dengan konflik yang bukan lagi bersifat konvensional tetapi bersifat apa yang dikatakan sebagai the modern conflict, urban warfare, cyber warfare dan non-linear warfare. Itu adalah penting kalau boleh Yang Berhormat Tampin, untuk dimasukkan pemikiran ini dan sejauh mana progress atau kemajuan tentang Kertas Putih Pertahanan ini perlu kita dapatkan penjelasan. Terima kasih Yang Berhormat Tampin.
Terima kasih dan masukkan di dalam ucapan saya. Seterusnya Butiran 08400 – Perumahan Angkatan Tentera Malaysia yang diperuntukkan sebanyak RM383 juta, meningkat daripada tahun yang lepas. Tuan Pengerusi, kita sedia maklum isu perumahan tentera sering dibangkitkan dalam setiap kali belanjawan dibentangkan. Saya berharap isu ini mesti diselesaikan sebaik mungkin. Kita sedia maklum ramai di kalangan anggota tentera terpaksa menyewa rumah di luar kawasan kem, kadang-kadang jauh dari tempat mereka bekerja yang boleh menimbulkan isu keselamatan anggota. Saya ingin penjelasan, apakah isu perumahan ini boleh diselesaikan. Bagaimana pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan perumahan anggota tentera
dapat diselesaikan. Apakah terdapat projek perumahan tentera yang dibina terbengkalai ataupun belum siap? [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa] Akhirnya Tuan Pengerusi, Butiran 00900 – Pembinaan (Awam). Peruntukan meningkat daripada RM10 juta mendadak kepada RM50 juta. Satu peningkatan yang amat ketara. Berdasarkan perkara tersebut, saya ingin mendapat penjelasan secara terperinci, apakah perkara yang dimasukkan dalam butiran ini. Bagaimana ia dibelanjakan? Apakah perkara yang menjadi prioriti kerajaan dalam membelanjakan peruntukan yang telah diberikan. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Tampin. Dengan itu tamatlah perbahasan di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan. Saya ingin menjemput Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab, 20 minit. Saya syorkanlah sekiranya isu itu tidak mendesak dan tak perlu diberi perhatian di sini dan Ahli-ahli yang bertanyakan soalan tidak ada maka boleh diberi secara bertulis. Saya syorkan begitu. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Okey, terima kasih. Terima kasih banyak Tuan Pengerusi. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh salam sejahtera Tuan Pengerusi. Pertama, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang terlibat dalam perbahasan Kementerian Pertahanan. Meneliti satu demi satu perbahasan yang disampaikan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat dan isu yang diketengahkan, saya berbangga dan terharu kerana isu melibatkan keselamatan dan pertahanan negara serta kebajikan tentera dan veteran mendapat perhatian yang cukup serius daripada semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Sesungguhnya ini adalah sikap terpuji dan menunjukkan keprihatinan Yang Berhormat-Yang Berhormat berhubung kepentingan pertahanan negara. Ia memandangkan apabila pertahanan negara kita kukuh, sudah pastilah negara kita berada dalam keadaan selamat dan sekali gus membolehkan rakyat hidup aman dan makmur. Saya berharap sikap prihatin ini akan berterusan dan berkekalan kerana biar apa pun perbezaan politik antara kita namun apabila kita berada dalam Dewan yang mulia ini, misi kita hanyalah satu iaitu melaksanakan tanggungjawab demi rakyat dan negara. Tuan Pengerusi, Di Dewan Rakyat tidak boleh berangan, Nasib rakyat kita bertanggungjawab, Terima kasih Yang Berhormat-Yang Berhormat atas pandangan, Izinkan saya menjawab. Tuan Pengerusi, dalam 20 minit, saya akan cuba menjawab sebanyak mungkin kesemua yang dibangkitkan oleh 20 orang Yang Berhormat-Yang Berhormat kita namun seandainya seperti nasihat Tuan Pengerusi, masa tidak mengizinkan, saya akan menjawab secara bertulis. Apa jua celahan sekiranya ada, akan dijawab di hujung setelah selesai memberi jawapan-jawapan kepada 20 orang Yang Berhormat yang telah berbahas. Pertama, walaupun Ketua Pembangkang iaitu Yang Berhormat Port Dickson tidak ada, boleh ke Tuan Pengerusi saya hendak menjawab?
Ya, sila.
Yang Berhormat Port Dickson telah membangkitkan isu iaitu government defence integrity oleh Transparency International
ataupun GDI. Jawapannya kepada apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Port Dickson, sebagai sebuah negara berdaulat, kerajaan telah menubuhkan dan mendukung sepenuhnya sistem checks and balances perancangan, pembangunan dan perolehan kerajaan dengan meletakkan Parlimen di kedudukan tertinggi. Disokong pula dengan pelbagai agensi dan jawatankuasa-jawatankuasa bebas di peringkat Parlimen dan kebangsaan bagi meningkatkan tahap ketelusan dan membendung gejala rasuah. Kementerian Pertahanan memberi perhatian kepada laporan ini dan mengalu-alukan inisiatif-inisiatif untuk membasmi ruang dan peluang kepada aktiviti rasuah di setiap peringkat pentadbiran. Berhubung isu perolehan LCS, LCS ini banyak rakan Yang Berhormat telah membangkitkan. Berhubung isu perolehan enam kapal second-generation patrol vessel berkeupayaan LCS bermula pada tahun 2010 bagi memenuhi keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk meningkatkan keupayaan armada berdasarkan dasar perancangan pada ketika itu. Cadangan ini kemudiannya telah diangkat melalui Jemaah Menteri pada 18 Ogos 2010. Susulan itu, kementerian telah memohon untuk melaksanakan perolehan ini dan pada 23 Mac 2011, kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan permohonan tersebut di bawah RMKe-10 dan RMKe-11. Tempoh pelaksanaan perolehan adalah selama 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023. Namun sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan kerja bagi LCS adalah sebanyak 57.05 peratus sahaja berbanding jadual perancangan kerja asal iaitu sebanyak 96.57 peratus. Secara keseluruhannya, perolehan ini telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau persamaan dengan 43 bulan.
Kementerian telah menyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa tidak dinafikan sememangnya terdapat masalah dalam perolehan LCS. Walau bagaimanapun, ini bukanlah masalah baharu yang timbul. Ia turut diakui oleh kepimpinan MINDEF sebelum- sebelum ini termasuklah Yang Berhormat Kota Raja semasa memegang jawatan selaku Menteri Pertahanan. Kelewatan perolehan ini adalah kerana pihak original equipment manufacturer ataupun kita panggil OEM berkaitan pembinaan LCS telah memberhentikan kerja disebabkan masalah kewangan yang dihadapi oleh pihak syarikat dan menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan Kewangan Kerajaan yang telah ditubuhkan pada tahun 2019 di mana mereka telah mengesyorkan dua pilihan kepada kerajaan sama ada untuk menghentikan atau meneruskan, keputusan Kerajaan PH pada waktu itu adalah untuk meneruskan perolehan oleh LCS. Bukan setakat itu, pihak MINDEF sendiri telah dipanggil untuk memberi penjelasan kepada pihak Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebanyak lima kali dan JKSTUPKKK sebanyak tiga kali. Malah pihak MINDEF juga semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan telah disoal siasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) sebanyak dua kali. Jadi di bawah kepimpinan Menteri Pertahanan sekarang, MINDEF dan ATM akan memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh kepada semua siasatan yang dibuat oleh badan-badan berkenaan. Saya mengalu-alukan mana-mana pihak sekiranya terdapat bukti baharu. Untuk makluman tambahan, laporkan terus kepada pihak berkuasa. Kementerian Pertahanan tidak akan sekali-kali akan mempertahankan serta berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dalam perihal perolehan LCS ini. Dalam masa yang sama walaupun kepimpinan syarikat OEM iaitu Boustead Berhad adalah terdiri daripada barisan kepimpinan baharu, namun ia tidak bermaksud kepimpinan syarikat yang terdahulu boleh terlepas dari keadilan sekiranya terdapat salah laku. Keutamaan kementerian pada ketika ini ialah untuk menyelamatkan projek ini. Ia amat penting memandangkan kapal LCS ini sememangnya aset yang diperlukan oleh TLDM. Bukan itu sahaja, projek ini juga melibatkan vendor-vendor tempatan yang mana sebahagiannya terdiri daripada veteran ATM dan juga menjadi kakitangan kepada syarikat tersebut. Kita tidak ada pilihan, suka ataupun tidak kementerian perlu mencari apa jua
jalan penyelesaian sekalipun untuk memastikan perolehan kapal-kapal LCS dapat disempurnakan dan diterima oleh TLDM. Inisiatif penyelesaian ini menggariskan dua komponen utama iaitu corporate restructuring dan fundraising. Perbincangan ini turut melibatkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (Jabatan Perdana Menteri). Kini...
Yang Berhormat Timbalan Menteri, sedikit daripada Sik. Belah kanan.
Okey.
Yang Berhormat Menteri sedikit. Saya hendak ambil maklum atas penjelasan berkaitan LCS ini dimaklumkan bahawa PAC Parlimen akan membuat lawatan ke Boustead Naval Shipyard, Naval Base Lumut pada hari Sabtu nanti dan kita akan bersama penuh dengan MINDEF bagi kita memastikan projek ini dapat diteruskan dan dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh MINDEF sendiri. Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat yang maklumkan yang mereka akan datang melawat. Baguslah. LCS ini aset yang sangat penting. Kini MINDEF berada di peringkat akhir rundingan bagi menyediakan pelan pemulihan dalam masa yang sama bengkel-bengkel yang melibatkan semua pihak bagi pemulihan projek LCS juga telah diadakan bagi memastikan syor pemulihan yang komprehensif dapat dihasilkan sebelum diangkat semula ke Jemaah Menteri untuk kelulusan dan tindakan selanjutnya. Sehubungan itu kita tidak boleh lagi pandang ke belakang. Apa yang telah berlaku menjadi pengajaran dan iktibar yang cukup besar buat kerajaan. Sebagai jalan ke hadapan pelan ini akan dibentangkan kepada Kabinet bagi kelulusan. Sekiranya diluluskan sasaran TUDM ialah memperoleh kapal LCS pertama mereka pada tahun 2025. Yang Berhormat Port Dickson juga telah membangkitkan perolehan helikopter McDonnell Douglas dan juga beberapa orang Yang Berhormat kita juga ada membangkitkan isu yang sama. Berhubung perolehan helikopter McDonnell Douglas pula, tentera darat telah memohon perolehan helikopter jenis ini semenjak RMKe-9 dan hanya mendapat kelulusan selepas insiden pencerobohan Lahad Datu dalam RMKe-11. Justifikasi permohonan helikopter jenis ini adalah kerana ia lebih sesuai diguna pakai dalam misi yang menyerupai insiden di Lahad Datu berbanding jenis helikopter yang lebih sophisticated dan berkos tinggi seperti Apache dari Amerika Syarikat atau Tiger dari Perancis. Status kesiapan enam buah helikopter pada masa kini adalah berada dalam proses pre-delivery inspection ataupun PDI. Helikopter tersebut kini berada di premis original equipment manufacturer (OEM) di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat. Sebagai maklumat Yang Berhormat juga, proses perolehan helikopter tersebut kini berada dalam fasa yang terakhir iaitu proses penerimaan. Kementerian Pertahanan telah melaksanakan beberapa aktiviti penerimaan bagi helikopter ini di premis OEM. Aktiviti penerimaan yang dijalankan mengikut jadual obligasi kontrak bermula April hingga Ogos 2021 adalah merangkumi; (i) proses pensijilan type certificate ataupun TC oleh Directorate General Technical Airworthiness; (ii) latihan bagi juruterbang dan juruteknik tentera darat; dan (iii) aktiviti pre-delivery inspection ataupun PDI oleh wakil kerajaan Sebagai makluman kepada semua Yang Berhormat, semasa pemeriksaan sebelum penghantaran PDI di premis OEM yang dilaksanakan oleh wakil kementerian pada Julai 2021, team PDI menemui beberapa perkara yang memerlukan pihak syarikat melakukan penambahbaikan terhadap sistem perisian helikopter MD 530G yang boleh menjejaskan pengoperasiannya. Team PDI Helikopter MD 530G telah melaksanakan PDI kedua ke atas enam buah helikopter tersebut bermula 6 hingga 9 Disember 2021 dan
mendapati bahawa helikopter MD 530 G boleh diterima kerana memenuhi spesifikasi yang ditetapkan. Jangkaan penghantaran enam buah helikopter MD 530G akan dilaksanakan pada suku pertama 2022. Kementerian mengakui berlaku kelewatan dalam perolehan tersebut dan telah mengambil langkah-langkah tegas dan sewajarnya bagi memastikan ATM terutama tentera darat dapat menerima aset ini secepat mungkin. Kementerian juga telah membuat pengiraan jumlah tuntutan denda lewat ataupun LAD yang harus dikenakan atas kelewatan ini. Jumlah tuntutan LAD ini akan ditentukan selepas proses penerimaan helikopter MD 530G ini selesai dilaksanakan. Okey, selesai Yang Berhormat Port Dickson. Yang Berhormat Libaran...
Yang Berhormat mohon mencelah. Saya rasa Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh menjawab yang mana ada dalam Dewan. Yang tiada dalam Dewan tidak payah jawab.
Setiu ada.
Ada tujuh minit sahaja ini, saya hendak tanya komponen Defence City yang bakal dilaksanakan dan apa yang ada dalam Defence City ini Oleh sebab saya hendak tahu supaya ianya tidak menjadi masalah di kemudian hari. Boleh tidak Yang Berhormat Timbalan Menteri menjelaskan serba sedikit Defence City ini.
Sahabat saya Yang Berhormat Jempol, bagi saya selesai nanti di hujung insya-Allah saya akan cuba jawab apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Jempol iaitu Defence City, terima kasih. Yang Berhormat Libaran ada? Ada, terima kasih. Yang Berhormat Libaran membangkitkan tindakan bagi memperketatkan kawalan keselamatan di Timur Sabah. Jawapan kementerian ialah senarai operasi yang dilaksanakan TLDM bagi memperketatkan kawalan keselamatan di Maritim Sabah Timur– Kita ada enam operasinya iaitu; (i) Operasi Sinar Sakti di Laut China Selatan; (ii) Operasi Benteng Laut Timur di Perairan Sabah dan Sarawak (iii) Operasi Wira di Benteng Patinggi Ali, Sarawak (iv) Operasi Daulat Benua di Laut Sulu (v) Operasi Pasir Laut di Perairan Sabah (vi) Operasi Iring - mengiring kapal-kapal dagang yang melalui perairan Sabah Timur berdasarkan permohonan daripada kapal- kapal tersebut. Yang Berhormat Libaran juga telah membangkitkan pengukuhan keselamatan ke seluruh Sabah. Bagi mengukuhkan keselamatan Sabah, ATM sedang menambah keupayaan melalui tindakan berikut pertamanya penubuhan Lima Divisyen di Sabah dalam pengisian pasukan-pasukan di bawah Lima Divisyen dan melalui operasi Ops Pasir Pesisir Pantai dan pulau-pulau.
Seterusnya. Yang Berhormat yang membangkitkan iaitu Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Setiawangsa, Yang Berhormat Jerai dan juga ada dua, tiga orang lagi Ahli Yang Berhormat. Saya tahu kebanyakan isu kebajikan veteran. Yang Berhormat Padang Serailah. Ini pejuang veteran, begitu juga dengan Yang Berhormat Tampin. Saya juga maklum tentang saranan agar kerajaan mewujudkan skim yang sesuai untuk veteran ATM yang tidak berpencen. Namun, perkara ini amat bergantung kepada situasi ekonomi dan kedudukan kewangan semasa negara. Buat masa ini, kerajaan memberikan tumpuan kepada usaha memerangi wabak COVID-19 dalam memulihkan semula ekonomi negara yang telah menelan belanja yang besar.
Namun, cadangan dan saranan ini yang telah diteliti oleh kerajaan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Selain daripada itu, saya ingin memberi penjelasan bahawa pelarasan jurang pencen antara kumpulan pesara tentera sebelum tahun 2004 dan kumpulan pesara tentera selepas tahun 2004 adalah di bawah bidang kuasa agensi pusat. Ini memandangkan isu pencen tidak hanya menjadi isu pesara ATM semata-mata tetapi turut melibatkan pesara perkhidmatan awam secara keseluruhannya. Kementerian akan memberikan komitmen dan memastikan kaedah dan penyelesaian yang terbaik dapat direalisasikan bagi menangani isu jurang pencen. Ini kerana saya sedar, bahawasanya tentera dan pegawai awam, mereka berbeza. Oleh sebab itu, walau bagaimanapun kita akan cuba untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tersebut.
[Bangun]
Di sebalik cabaran bagi dua perkara yang saya nyatakan tadi, usaha ...
Yang Berhormat Timbalan Menteri, penjelasan. Padang Serai.
Yang Berhormat Padang Serai.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Terima kasih Tuan Pengerusi. Seperti mana Yang Berhormat Timbalan Menteri beritahu, kita terima tetapi cerita yang lama sedikit, sekian lama tidak ada satu keputusan yang boleh meyakinkan veteran dalam negara kita. Setiap kali beritahu, itulah alasan-alasan yang kita terima. Di bawah sana, veteran rasa tidak puas hati dan mereka rasa mengapa kerajaan begitu zalim sekali terhadap mereka. Mesti ada satu keputusan yang konkrit bagi mereka, yakinkan mereka supaya mereka betul-betul tahu okey kerajaan menerima kita sebagai veteran dan juga jaga veteran. Cakap kebajikan, kebajikan. Ini gaji pun satu kebajikan juga. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Sahabat saya Yang Berhormat Padang Serai memang saya sedar, saya sudah berjumpa Yang Berhormat Padang Serai. Kami sudah berbincang empat mata. Kita sudah bangkit. Apa yang dibangkitkan Yang Berhormat Padang Serai, saya prihatin, saya ambil maklum. Kita sama-samalah memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh Yang Berhormat Padang Serai dan juga rakan-rakan pasal hal veteran. Akan tetapi bagi saya selesaikan dahulu ya. Saya banyak lagi dan masa tinggal tidak sampai tiga minit ini. Banyak hendak jawab lagi ini. Baiklah, saya teruskan ya. Bagi tahun ini, MINDEF telah memperuntukkan RM35.7 juta bagi Skim Bantuan Kebajikan. Sehingga kini, seramai 12,377 orang anggota veteran ATM, balu dan tanggungan telah menerima manfaat tersebut. Antara bantuan yang disediakan adalah seperti Skim Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan Kolej Vokasional Kebangsaan kepada anak-anak veteran, bantuan kemasukan ke universiti awam ataupun politeknik kepada anak-anak veteran, bantuan perubatan, bantuan peralatan pesakit, bantuan bencana alam dan bantuan pengurusan jenazah. Selain itu, MINDEF turut melaksanakan Program Gerobok Rezeki Veteran ATM dan MINDEF Prihatin yang mana ia telah memberi manfaat kepada seramai 26,500 orang veteran ATM dan tanggungan di seluruh negara, terutamanya kepada mereka daripada golongan B40 dan terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19. MINDEF juga telah menitikberatkan aspek kesejahteraan hidup melalui inisiatif perumahan mampu milik bagi veteran ATM sejajar dengan Pelan Strategik MINDEF 2021- 2025 di bawah Teras Strategi Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM. Saya hendak skip sedikit, Tuan Pengerusi. Banyak ini.
Ha tadi Malaysia Defence City tidak jawab. Cepat, cepat.
Ya, ya sabar, sabar Yang Berhormat Jempol. Saya sudah ada ini. Okey saya jawab sahabat saya Yang Berhormat Jempol. Potong queue Tuan Pengerusi, tetapi tidak mengapalah. Okey apa yang disebutkan Yang Berhormat Jempol, membangkitkan status cadangan pewujudan Defence City Malaysia dan unjuran pelabuhan dari Defence City Malaysia (DCM). Yang Berhormat Jempol, sebagaimana sedia maklum, Kementerian Pertahanan sentiasa menyokong inisiatif bagi memperkasakan industri pertahanan negara. Ini termasuklah cadangan bagi mewujudkan sebuah bandar industri pertahanan atau Defence City Malaysia. Bagi cadangan ini, seperti yang diterangkan sebelum ini, Kementerian Pertahanan berpandangan bahawa inisiatif ini wajar menjadi inisiatif yang digerakkan oleh pihak industri atau dengan izin industry-driven dengan sokongan kerajaan dan MINDEF sebagai pemudah cara. Pada masa yang sama, perancangan yang hendak dibuat haruslah bersandarkan ekonomi dan market-driven dengan izin. Maka sebarang permohonan serta cadangan daripada pemain industri berhubung perkara ini akan diberikan sokongan serta perhatian sewajarnya sebaik ia dimajukan untuk pengetahuan Kementerian Pertahanan. Hal ini, oleh sebab cadangan adalah sama dengan inisiatif Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan taman teknologi pertahanan dan keselamatan Malaysia di atas tanah keluasan 1,222 ekar di mukim Sungkai, daerah Batang Padang, Perak pada 2022 hingga tahun 2024. Program ini walau bagaimanapun, tidak mencapai objektif yang dihasratkan berikutan tiada sokongan daripada pemain industri. Saya hendak jawab lagi, Tuan Pengerusi sebab masa pun sudah habis. Banyak ini Tuan Pengerusi, satu dua. Macam mana Tuan Pengerusi? Hendak saya teruskan ataupun saya bagi secara bertulis? Tetapi saya hendak jawab bolehlah, yang ini sahabat saya.
Saya ingat Yang Berhormat Timbalan Menteri, soalan. Tuan Pengerusi, Tuan Pengerusi sekejap. Adakah dahulu Yang Berhormat Timbalan Menteri pernah menjawab dalam RMKe-12 menyatakan bahawa ia akan dibuat di Bera ataupun di Lipis. Akan tetapi di Sungkai, berlainan pula tempatnya.
Ini yang lama, yang dahulu.
Yang dahulu? Saya cerita yang baharu ini.
Sudah ada pelan ini. Sudah ada perancangan tetapi malangnya telah buat tetapi tidak berjaya. Walau bagaimanapun cadangan oleh sahabat saya Yang Berhormat Jempol, saya akan angkat dan berbincang. Kita cuba cari ...
Bukan cadangan saya, sudah di-announce oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Baik Yang Berhormat Jempol, saya dengar. Saya hendak jawab sedikit apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tampin, sahabat saya Yang Berhormat Tampin. Yang Berhormat Tampin membangkitkan tentang bajet JHEV berkurang, kenapa berkurang? Kenapa tidak mencukupi? Untuk menjawab Yang Berhormat Tampin, bajet yang diperuntukkan kepada MINDEF oleh JHEV adalah oleh MOF akan dimanfaatkan dan dibelanjakan sepenuhnya mengikut peraturan kewangan sedia ada dan diberikan kepada veteran JHEV yang layak. Setiap peruntukan yang kurang akan diselaraskan dan ditampung bersama antara MINDEF dan JHEV mengikut kaedah kewangan yang dibenarkan. Yang Berhormat Pasir Gudang tadi antara saya hendak bangkitkan, dia ada sebut pasal keadaan radar jarak jauh di TUDM Bukit Lunchu yang uzur dan lama. Yang Berhormat Pasir Gudang, perolehan bagi penggantian radar jarak jauh di TUDM di Bukit Lunchu akan dilaksanakan secara tender terbuka antarabangsa pada suku pertama tahun 2022. Tentang jalan yang teruk itu, nantilah saya akan cuba berbincang bagaimana supaya jalan yang ke arah tempat itu supaya lebih baik.
Terima kasih.
Okey, terima kasih. Tentang Yang Berhormat Dungun. Yang Berhormat Dungun ada bangkit pasal light combat aircraft. Ini pun ramai kawan-kawan. Untuk pengetahuan semua, perolehan 19 unit light combat aircraft telah dilaksanakan secara tender terbuka antarabangsa pada Jun 2021. Jadi, kita sudah tender secara terbuka dan status terkini perolehan adalah dalam proses penilaian tender. Tidak tahu lagi siapakah yang berjaya. Ini, Yang Berhormat Lumut. Yang Berhormat Lumut ada atau tidak? Tidak ada? Yang Berhormat Bukit Bendera?
Ada, ada.
Ada, okey. Yang Berhormat Bukit Bendera. Yang Berhormat Bukit Bendera menyentuh status Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan dan dokumen-dokumen kesinambungan Kertas Putih Pertahanan. Tuan Pengerusi, Jawatankuasa Pelan Pelaburan Pertahanan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri membuktikan kesungguhan kerajaan di peringkat tertinggi dalam memperkasakan industri pertahanan negara dan direncanakan bagi mewujudkan platform kebersamaan rentas agensi, khususnya berkaitan perolehan aset agensi pertahanan dan keselamatan. Ini sekali gus memberi impak ekonomi skala kepada pemain industri pertahanan dan keselamatan negara serta beberapa objektif lain ke arah memperkasakan industri pertahanan dan keselamatan tempatan, termasuklah penyelidikan dan pembangunan. Untuk makluman semua, JPPN iaitu Jawatankuasa Pelan Pelaburan Pertahanan Negara kini telah dijenamakan semula kepada Majlis Pembangunan Pertahanan dan Keselamatan Negara (MAPAN) dan merupakan inisiatif yang akan dilaksanakan melalui dokumen Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara yang kini dalam fasa akhir penggubalannya.
Selain itu juga, dua lagi dokumen susulan KPP iaitu Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan baru selesai menjalani proses libat urus dan memasuki fasa penulisan. Serentak dengan ini juga, rangka kerja (framework) bagi Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN) telah disediakan dan akan disiapkan apabila IPKN dan RTKP selesai dibangunkan. Oleh kerana masa Tuan Pengerusi, saya hendak...
Yang Berhormat Timbalan Menteri, Lumut, Lumut.
Ya, you nak Lumut.
Brother, brother.
Dari Kuala Selangor tadi saya celah, Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Saya dah baca dah Lumut fasal LCS. [Ketawa] Hendak saya ulang balik?
Kuala Selangor baca dah?
Okey tidak apalah, ini Lumut, Lumut. Ini brother, brother.
Hybrid warfare.
Okey, Yang Berhormat Lumut juga membangkitkan fasal apakah hasil R&D yang telah dapat dikomersialkan dan berpotensi dikomersialkan pada tahun-tahun hadapan? Ini akhir ya, Tuan Pengerusi.
Yang Berhormat Timbalan Menteri, Kuala Selangor. Hybrid warfare, pengintegrasian ATM.
Bagi saya baca Yang Berhormat Lumut dulu ya. Hasil R&D yang berpotensi untuk dikomersialkan adalah didefinisikan seperti berikut: (i) produk untuk diguna pakai oleh ATM dan agensi-agensi keselamatan negara; (ii) konsep dan idea hasil R&D bagi sesuatu projek diguna pakai oleh industri pertahanan dalam penghasilan produk; (iii) produk berpotensi untuk difabrikasi dihasilkan oleh industri pertahanan tempatan; (iv) perkhidmatan pengujian yang diberi kepada industri (STRIDE) menyasarkan projek-projek pendidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan adalah seperti berikut: (a) Sistem Tanpa Pemandu bagi platform udara; (b) smart fabric; (c) perkhidmatan pengujian electromagnetic interference terhadap peralatan elektronik dan komunikasi yang menggunakan kebuk electromagnetic compatibility. Saya rasa sahabat-sahabat semua, saya minta maaflah. Saya rasa masa, kasihan kepada...
Sedikit penjelasan, Yang Berhormat Timbalan Menteri, yang akhir sekali.
Apa dia?
Terima kasih Tuan Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Saya kalau Yang Berhormat Padang Serai ini, saya kalah dengan dia. Okey, silakan.
600 orang Tentera Diraja Sulu sedia untuk tawan Sabah. Seramai 600 orang anggota Tentera Diraja Sulu (Royal Sulu Army) dilaporkan bersedia untuk lancarkan operasi menawan Sabah. Operasi tersebut telah dirancang selepas beberapa pertemuan rahsia antara 19 orang datuk bandar dari kawasan Selatan Filipina. Seramai 19 orang datuk bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 orang anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut. Kos peluru dan logistik yang dianggarkan sebanyak USD10,000 telah ditanggung oleh pegawai tinggi kerajaan. Laporan daripada South China Morning Post.
Yang Berhormat Padang Serai, saya pun ada terbaca tadi. Apa pun benda ini tidak lagi dapat disahihkan berita tersebut. Jadi, saya tidak dapat memberi ulasanlah terhadap apa yang dibangkitkan. Akan tetapi saya percaya di pihak kerajaan sudah tentulah apa sahaja maklumat dan berita akan dipandang- terutamanya apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Padang Serai akan diambil secara serius.
Walau bagaimanapun, kita berhati-hatilah sebab kita tidak mahu tragedi yang berlaku semasa dulu.
Saya tahu, kita tidak mahu tragedi Lahad Datu itu berlaku sekali lagi.
Okey, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri dan Tuan Pengerusi.
Okey, Tuan Pengerusi dan Ahli-ahli Yang Berhormat semua, saya ingin menutup penggulungan ini untuk menyatakan sekali lagi, saya menghargai segala pandangan dan cadangan-cadangan Yang Berhormat
semua dalam sesi perbahasan Bajet MINDEF 2022. Namun, kita juga perlu sedar dan memahami dalam apa juga usaha atau tindakan dilakukan, pasti ada kekurangan dan kelemahannya. Namun, MINDEF yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik demi memastikan Kementerian Pertahanan terus melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan negara. Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan juga amat mengalu-alukan segala cadangan dan laporan bagi menjamin ketelusan dan mengelakkan ketirisan dalam semua program perolehan dan pembangunan kesiapsiagaan ATM. Seperkara lagi, sudah pasti dalam kehidupan ini Ahli-ahli Yang Berhormat, laut mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Ada yang dirancang tidak jadi atau lambat jadi, diakui akan ada kelemahan dan kekurangan. Namun, jika kita bermuafakat, pastinya ia membawa berkat dan berjaya. Insya-Allah. Terima kasih semua.
Hidup Yang Berhormat Timbalan Menteri!
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya ialah bahawa wang sejumlah RM11,105,479,300 untuk Kepala B.60 Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2022 jadi sebahagian daripada Jadual hendaklah disetujukan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala B.60 diperintah jadi sebahagian daripada Jadual]
Masalahnya ialah bahawa perbelanjaan di bawah Kepala P.60 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 hendaklah diluluskan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala P.60 jadi sebahagian daripada Anggaran Perbelanjaan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 Jawatankuasa — Kepala B.62 [Jadual] – Kepala P.62 [Anggaran Pembangunan 2022] –Bill
Sekarang tiba masanya untuk perbahasan di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri. Ahli-ahli Yang Berhormat, Kepala Bekalan B.62 dan Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri sekarang terbuka untuk di bahas. Saya mempunyai senarai 31 orang, malangnya saya hanya dapat membenarkan 20 orang yang akan dimulakan oleh: (i) Yang Berhormat Baling; (ii) Yang Berhormat Beruas; (iii) Yang Berhormat Jempol; (iv) Yang Berhormat Batu; (v) Yang Berhormat Libaran; (vi) Yang Berhormat Sepang; (vii) Yang Berhormat Tumpat; (viii) Yang Berhormat Kalabakan; (ix) Yang Berhormat Kuala Krai; (x) Yang Berhormat Tuaran; (xi) Yang Berhormat Kuala Langat; (xii) Yang Berhormat Kota Kinabalu;
(xiii) Yang Berhormat Dungun; (xiv) Yang Berhormat Petaling Jaya; (xv) Yang Berhormat Jerai; (xvi) Yang Berhormat Kota Melaka; (xvii) Yang Berhormat Tebrau; (xviii) Yang Berhormat Sungai Buloh; (xix) Yang Berhormat Setiu; dan (xx) Yang Berhormat Parit Buntar. Saya ingin nyatakan bahawa senarai ini kita senaraikan mengikut senarai yang diberi oleh Chief Whip ya. Saya tidak- prioritynya pun mengikut yang disenaraikan oleh Chief Whip. Saya tidak mengganggu gugat senarai yang diberi oleh Chief Whip. Sekiranya sesiapa yang tidak ada, maka saya akan gantikan dengan yang selebihnya ya.
Tuan Pengerusi, Padang Serai masuk sekali.
Yang Berhormat Padang Serai dah cakap hari-hari, dah banyak dah. [Ketawa] Yang Berhormat Padang Serai, Chief Whip...
Yang Berhormat Padang Serai boleh rehat sedikit.
Padang Serai banyak masalah.
Yang Berhormat Padang Serai sebenarnya nombor 28, maaf.
Yang Berhormat Padang Serai boleh rehatlah sat.
Yang Berhormat Baling, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam Keluarga Malaysia. Butiran 18000 – Pembaikan dan Ubahsuai (PDRM). Seperti penjawat awam dan badan beruniform lain, anggota polis tidak terkecuali daripada menerima kemudahan kuarters kerajaan sebagai kediaman mereka sekeluarga. Namun, sejauh mana kemudahan ini memberi keselesaan kepada anggota polis yang menghuninya? Di bawah Pelan Tindakan Strategik PDRM 2015/2020, kerajaan telah menyenaraikan sejumlah 54 buah premis PDRM, pejabat dan kuarters yang memerlukan pembinaan semula memandangkan ia telah uzur dan tidak lagi kondusif untuk diduduki. Adakah kesemua premis yang telah disenaraikan itu telah dibaikpulih? Menurut Building Management Budget (BMB) oleh Department of Housing dari Queensland Government Australia, norma bagi keperluan pembaikan dan penyelenggaraan bangunan adalah satu hingga empat peratus daripada nilai aset semasa. Mohon untuk pihak kerajaan memberi peruntukan mengikut saranan daripada BMB supaya kesemua anggota PDRM dapat menjalankan tanggungjawab mereka dalam suasana yang kondusif. Butiran 08500 – Perumahan (PDRM). Untuk butiran ini dilihat berlaku pengurangan peruntukan iaitu sebanyak RM12.5 juta pada kali ini. Saya faham kekangan kewangan perlu menyiapkan dana yang cukup, peruntukan yang lebih banyak untuk kita menangani isu COVID-19.
Walau bagaimanapun kalau kita tengok bagi anggota polis berpangkat rendah seperti sarjan dan ke bawah yang bertugas di bandar besar contohnya Tuan Pengerusi. I’m sure you will understand this. Kos sara hidup yang tinggi sehingga boleh diklasifikasikan sebagai urban poor dengan izin anggota polis ini. Ada di kalangan anggota
yang tidak dapat tinggal di kuarters polis, tiada pilihan selain mengeluarkan sebahagian gaji menyewa bilik atau rumah kerana elaun perumahan yang diberikan oleh pihak kerajaan pada ketika ini tidak mendapat menampung jumlah sewa yang perlu dibayar oleh mereka khususnya di kawasan bandar. Ada juga anggota polis yang terpaksa berkongsi rumah serta bilik yang sempit untuk mencari alternatif yang lebih murah. Adakah pihak kerajaan berhasrat untuk membina lebih banyak lagi kuarters untuk anggota polis pada tahun hadapan lebih-lebih lagi di kawasan bandar besar? Anggota polis merupakan barisan hadapan, asset negara yang sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko keselamatan sehingga melibatkan nyawa. Saya difahamkan seramai 23,766 orang pegawai dan anggota polis serta keluarga telah dijangkiti COVID-19 sejak pandemik ini melanda negara kita khususnya kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan. Dengan tanggungjawab yang besar menjaga keselamatan dan keharmonian negara, adalah patut mereka diberikan perhatian dan penghargaan sewajarnya. Kerajaan perlu menjaga kebajikan anggota polis dengan menyediakan facilities dan kemudahan asas tempat tinggal yang selamat dengan kompaun dan kuarters yang berdekatan dengan tempat mereka perlu melaksanakan tugasan masing-masing. Kalau kita tengok pada hari ini negara kita yang begitu prihatin, pekerja-pekerja asing Tuan Pengerusi dibawa datang dari Bangladesh, Vietnam, Nepal dan sebagainya. Kita pastikan Kementerian Sumber Manusia dan KDN memastikan tempat tinggal mereka kondusif, sihat dan selamat. Jadi kalau kita boleh jaga warga asing, takkanlah kita tidak boleh mengambil kira kebajikan kepada mereka yang terhormat khususnya anggota- anggota polis kita. Ada laporan yang menyatakan terdapat anggota polis yang bekerja di Pejabat Polis Dang Wangi terpaksa menunggang motosikal berulang-alik setiap hari dari Sijangkang. Baru-baru ini ada cadangan daripada pihak polis supaya PDRM, kerajaan menyewa rumah anggota dan pegawai di sekitar Lembah Klang sebagai langkah jangka masa pendek bagi mengatasi masalah kekurangan kuarters. Soalan saya kepada kementerian khususnya KDN. Adakah kerjasama dengan kementerian-kementerian yang lain? Tuan Pengerusi, saya di Baling. Kita ada hampir 80 unit, empat blok kuarters guru lima tingkat, kosong. Sudah bertahun-tahun kosong. Saya pernah syorkan agar kementerian memberikan kepada pihak-pihak polis, anggota polis tinggal di sana. Jadi saya hendak bertanya, ada tidak kerjasama dan kalau tidak ada. Memandangkan kewangan kita pada hari ini, saya mengesyorkan kepada kementerian untuk bekerjasama dan saya minta libatkan semua Ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Kami boleh jadi mata dan telinga. Minta Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Timbalan Menteri menulis surat kepada kami. Minta laporan ada tidak kuarters-kuarters, rumah-rumah yang kosong di kawasan kami. Kami boleh melaporkan. Tidak perlu cari duit untuk membina bangunan-bangunan baharu. Ambilah kuarters- kuarters, departments lain ataupun agensi-agensi kerajaan yang lain untuk diguna pakai. Akhir sekali Tuan Pengerusi, ini ada orang minta suruh saya bertanya tetapi ini last saya settle-kan polis ini. Demi kelangsungan Keluarga Malaysia, aspirasi yang dibawa oleh kerajaan yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dari Bera. Polis juga tidak terpinggir daripada Keluarga Malaysia. Saya berharap pihak kementerian boleh segera mencari jalan yang pintar dan tuntas menyelesaikan untuk perkara bagi memastikan kebajikan anggota polis kita terus terbela demi kestabilan demi kemakmuran rakyat. Last sekali Tuan Pengerusi. Ini adalah soalan daripada netizen rakyat. Saya dapat lebih 80 mesej WhatsApp suruh saya bertanya. Saya sudah bertanya perkara ini kepada Yang Berhormat Menteri Undang-undang berkaitan dengan pada 19 November, kenyataan SPRM katanya baki 65 juta daripada 700 juta dibayar, Jho Low yang disimpan oleh akaun milik suami Tan Sri Zeti bekas Gabenor telah dikembalikan oleh negara Singapura kepada Malaysia. Soalan saya kepada KDN ataupun kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri yang menjawab pada hari ini kalau boleh jawab, sila jawab. Jika tidak boleh jawab, sila bagi secara bertulis. Saya faham.
Saya hendak bertanya, sebab Yang Berhormat Menteri Undang-undang menyatakan bahawa kes ini telah disiasat oleh pihak polis sejak 2019. Rakyat netizen di luar sana hendak tahu apakah statusnya. Adakah perkara ini benar atau tidak? Kita tidak mahu fitnah menular. Biarlah pihak polis ataupun Menteri atau Timbalan Menteri menjawab menyatakan perkara yang sebenarnya. Saya hendak kongsi last sekali Tuan Pengerusi, macam saya dituduh mencuri duit Tabung Haji tiga tahun. Last sekali saya ada peluang untuk bertanya dengan Yang Berhormat Menteri Agama di sini dan telah terjawab tidak ada siasatan, malah tuduhan terhadap sesiapa termasuk saya atas nama kecurian duit Tabung Haji. Jadi perulah kita perjelaskan di atas nama Tan Sri Zeti seorang bekas Gabenor yang dihormati lagi disanjungi oleh semua pihak khususnya Kerajaan Pakatan Harapan yang terdahulu. Terima kasih kerana bagi Baling peluang untuk berbahas. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Baling. Yang Berhormat Beruas. Silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi kerana membenarkan saya membahas di peringkat Jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri. Butiran 020000 – Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam. Tuan Pengerusi, selepas saya membahaskan tentang kekurangan pekerja di beberapa sektor dalam negara kita, Menteri Dalam Negeri telah pun membalas pada ucapan saya dalam media menyatakan bahawa border ataupun sempadan tidak boleh dibuka kerana ada masalah kesihatan dan faktor-faktor kesihatan dan ketenteraman awam yang perlu dipertimbangkan. Tuan Pengerusi, ini menunjukkan bahawa Menteri ini memang tidak layak untuk terus menjadi Menteri kerana hampir dua tahun perkara ini sudah berlarutan dan dunia telah sudah pun membuka sempadan mereka. Akan tetapi Menteri ini masih lagi hanya dapat melihat masalah sahaja. Tidak ada penyelesaian kepada kekurangan pekerja dalam negara kita. Oleh yang sedemikian Tuan Pengerusi, saya memohon melainkan beliau boleh memberi satu penyelesaian pada masalah kekurangan pekerja yang begitu runcing ini perlu berundur untuk bagi orang yang lebih berkelayakan untuk menjadi Menteri. Hal ini kerana, sekarang masanya ialah extraordinary time. Extraordinary time memerlukan extraordinary measures. Kalau seseorang Menteri itu tidak tahu sekarang sudah ada extraordinary time, dia tidak layak untuk menyandang jawatan ini. Tuan Pengerusi, negara kita ini kekurangan berpuluh-puluh bilion ringgit setiap tahun. Dalam industri sawit dianggarkan RM20 bilion kita kerugian kerana tidak cukup pekerja. Di industri sarung tangan dianggarkan kita kerugian RM15 bilion setahun kerana tidak cukup 20,000 sehingga 30,000 orang pekerja dan dalam industri elektronik dan elektrik lebih kurang 16,000 orang yang kita kekurangan pekerja. Eksport keseluruhan industri ini sangat penting pada negara kerana kita mengeksport lebih kurang RM366 bilion setiap tahun ataupun 40 peratus daripada jumlah eksport. Jawapan yang terkini yang saya dapat ialah sekarang telah dibuat satu keputusan pada 26 Oktober 2021 bahawa Jabatan Imigresen boleh memberikan kelulusan bersyarat sebanyak 70 peratus daripada jumlah permohonan kuota yang telah diluluskan verifikasi PATI. Kalau mereka layak kenapa 70 per cent? Macam Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Sumber Manusia ini hendak kongsi habuan. Why 70 per cent? Kalau mereka layak, yang sudah ada pada kita ini. Haruslah meluluskan 100 peratus. Jadi, harap kerajaan dapat menyelesaikan perkara ini serta-merta. Berpuluh-pulih bilion ringgit dan juga cukai berbilion-bilion ringgit yang kita kerugian. Butiran kedua 050600 – Kad dan Dokumen Pengenalan. Kad Pengenalan dan sijil kelahiran dirampas apabila seorang anak angkat itu didapati tidak mengikut proses perundangan.
Tuan Pengerusi, kita dapati kerajaan ini mencari masalah dan bukan menumpukan perhatian dalam perkara-perkara yang memanfaatkan negara kita. Anak angkat seperti Chang Meng Ying, nombor kad pengenalan 6810202-08-6389 dan Yu Sing Ni, nombor MyKid 060523-10-0532, nombor daftar kelahiran BR20544. Mereka ini dilucutkan kerakyatan mereka semata-mata kerana mereka tidak boleh buktikan mereka dilahirkan oleh seorang rakyat Malaysia. Tuan Pengerusi, memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 November 2021 bahawa seorang anak angkat itu dianggap berwarganegara Malaysia melainkan dibuktikan sebaliknya. Saya berharap kerajaan akan menghormati keputusan itu dan memulihkan segera kerakyatan kepada orang-orang seperti Chang Meng Ying dan Yu Sing Ni ini. Tuan Pengerusi, bagi dua minit boleh?
Seminit, seminit setengah Yang Berhormat.
Okey, terima kasih. Perkara ketiga, Butiran 020100 – Kepolisan. Saya terperanjat dalam dialog saya dengan Ketua Polis Daerah Manjong pada hari Sabtu yang lepas tentang peningkatan kecurian kelapa sawit akibat kenaikan harga kelapa sawit yang melambung tinggi. Saya terperanjat apabila polis mengatakan kes-kes ini hanya boleh diambil tindakan di bawah Minor Offenses Act 1955 dan bukan atas kanun keseksaan di bawah kecurian kerana dikatakan buah atau tandan kelapa sawit ini tak ada nombor siri dan tidak boleh dibuktikan. Rakyat sudah kehilangan keyakinan kepada polis kerana tidak dapat menyelesaikan kecurian ini secara berkesan. Di manakah perisikan polis? Polis mesti berupaya mengawal kecurian ini. Jadi saya harap dapat penjelasan kenapakah kes kecurian ini tidak boleh ditandingi oleh pihak polis. Akhir sekali, diskaun saman polis. Baru- baru ini diumumkan bahawa saman dari 9 Disember 2021 hingga 12 Disember 2021 ini, polis akan memberikan diskaun saman atau kompaun yang dikenakan. Tuan Pengerusi, ini merupakan satu perkara yang amat memalukan kerana undang-undang seperti saman ini sudah seperti boleh dibuat diskaun di supermarket yang bermusim-musim. Mereka yang ikut undang-undang, yang bayar sebelum tarikh ditetapkan, mereka bayar dengan penuh. Mereka yang tak ikut undang-undang, tak nak bayar, boleh dapat diskaun. Dulu 50 peratus, sekarang 80 peratus. Ini merupakan satu penghinaan kepada kedaulatan undang-undang. Saya cadangkan polis jangan keluarkan apa-apa saman melainkan mereka boleh melaksanakan ia secara berkesan. Saya cadangkan semua saman hanya dikeluarkan di tempat-tempat yang perlu bukan di kampung-kampung...
Yang Berhormat, tolong habiskan.
Di orang ramai – tempat yang kurang kepadatan penduduk tetapi dikenakan bermacam-macam saman seperti tidak memakai topi keledar ataupun speeding, et cetera. Saya cadangkan semua saman yang polis tidak dapat melaksanakan tindakan dalam masa enam bulan, dibatalkan because a summon is not meant to be revenue-generating. So, itulah sahaja. Saya harap polis mempertimbangkan cadangan saya. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Jempol, silakan.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi izinkan saya untuk mengambil bahagian RUU Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri. Butiran 1200 – Balai-balai dan Pondok Polis. Bagi tahun 2022, peruntukan telah ditingkatkan sebanyak RM18 juta iaitu RM29 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM11 juta. Saya mengucapkan terima kasih atas peningkatan peruntukan kerana terdapat keperluan yang mendesak di kawasan Jempol khususnya.
Di kawasan Parlimen Jempol, majoriti keadaan pondok polis berada dalam keadaan sedih, menyedihkan dan terdapat banyak kerosakan. Pondok Polis Felda Serting Hilir Kompleks misalnya terpaksa ditutup kerana tidak sesuai penempatan anggota. Sekiranya hendak dibaiki, kosnya bakal terlibat adalah lebih tinggi berbanding dengan bina baharu. Apabila pondok polis berkenaan ditutup, penduduk di kawasan persekitaran terpaksa pergi jauh ke Balai Polis Air Hitam iaitu di Jelebu. Ketiadaan pondok polis tersebut telah merisikokan keselamatan seramai 8,000 orang penduduk yang terdedah kepada kegiatan jenayah. Memandangkan aduan berkenaan isu keselamatan dan keselesaan anggota polis sering diajukan kepada saya oleh penduduk setempat, saya mohon agar kementerian memberi perhatian keutamaan pondok-pondok polis di Jempol yang kini berada dalam keadaan daif dan usang. Berkenaan balai-balai dan pondok-pondok polis yang terdapat dalam kawasan FELDA khususnya mungkin seluruh negara, tanah tersebut adalah milik FELDA. Maka pihak PDRM tidak boleh membaik pulih. Di sini, saya harap kementerian boleh berbincang dengan Jabatan Perdana Menteri supaya ia dapat diselesaikan segera. Ini termasuklah Pondok Polis Serting Hilir Kompleks, Pondok Polis Palong 4, 5 dan 6. Pondok Polis Palong 2 serta Palong 12. Tahun lalu, saya telah membangkitkan perkara yang sama namun tiada tindakan lanjut yang telah diambil oleh pihak kementerian. Menerusi peruntukan besar tahun 2022, saya harap perkara ini dapat diperhalusi oleh kementerian dan boleh diambil tindakan segera agar semua isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan kadar segera. Butiran 08500 – Perumahan. Perumahan kuarters polis di Daerah Jempol kebanyakan perlu dibaiki kerana usianya sudah menjangkaui lebih 40 tahun dan tidak selesa untuk didiami. Pada tahun 2022, hanya RM500,000 sahaja peruntukan kementerian untuk tujuan perumahan polis. Ini amat mendukacitakan kerana dengan kadar RM500,000 ini apakah yang boleh kita buat? Berdasarkan pengumuman Belanjawan 2022 sebelum ini, Yang Berhormat Menteri Kewangan telah pun menyatakan bahawa RM230 juta disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan sekolah dan kem tentera, fasiliti tentera, rumah keluarga dan angkatan tentera. Peruntukan itu telah turut melibatkan penggantian, pembaikan lif serta kuarters PDRM. Menerusi peruntukan sebanyak RM500,000 ini apakah perancangan kementerian mengenai perumahan anggota polis pada tahun hadapan dan manakah peruntukan akan dibelanjakan? Adakah peruntukan ini telah mengambil kira masalah kuarters pegawai dan anggota yang tidak mencukupi seluruh negara sehinggakan mereka terpaksa menyewa di luar dengan harga yang tinggi khususnya di bandar. Kementerian perlu memandang serius terhadap perkara ini kerana elaun perumahan hanyalah RM300. Ini masih jauh kadar sewaan bulanan di luar sedangkan sebelum ini kementerian menyatakan akan menambah skim perumahan anggota polis yang membabitkan perancangan sama untuk baik pulih rumah daif. Butiran 020100 – Kepolisan. Mengenai perjawatan di ibu pejabat daerah (IPD), saya difahamkan gred IPD diklasifikasikan mengikut beberapa faktor utama antaranya seperti tahap ekonomi sebuah kawasan, komunikasi, kerumitan kawasan, kemudahan awam, komposisian penduduk dan kadar jenayah. Pada hari ini, saya dapati IPD telah menepati kategori tersebut di Negeri Sembilan seperti IPD Nilai, IPD Port Dickson dan juga IPD Jempol. Walau bagaimanapun, IPD di kawasan berkenaan grednya yang tertinggi masih lagi berjawatan Superintenden (SUP). Yang lain seperti Jelebu dan juga Rembau hanyalah DSP. Sedangkan dari tahun ke tahun, beban sebuah IPD itu telah bertambah ekoran aktiviti pembangunan, penambahan bilangan penduduk dan kadar jenayah. Soalan saya, bilakah kali terakhir kementerian membuat semakan dan kajian terhadap IPD-IPD seluruh negara khususnya di Negeri Sembilan? Saya mencadangkan agar kementerian menaik taraf IPD yang telah menepati syarat dengan meletakkan anggota berpangkat ACP menerusi kenaikan pangkat Superintenden Polis yang sedia ada.
Perkara ini wajar dilaksanakan kerana cabaran tugas, kerumitan daerah khususnya di Jempol masih keadaan yang begitu beban dan polis amat tinggi. Jadi, saya berharap banyak kawasan polis contohnya di Nilai, kawasan industri yang besar, masih lagi superintenden. Parlimen Jempol masih lagi superintenden, yang ada ASP hanyalah di Seremban sahaja. Jadi, saya harap perkara ini diambil tindakan supaya penstrukturan polis ini dapat dibuat dengan kadar segera. Saya berharap juga pada gaji-gaji polis ini kita tahu keadaan polis hari ini cukup tertekan di mana peringkat-peringkat bawah ini saya dapati ada yang jual burger untuk menampung kehidupan. Ada yang bawa Grab dan sebagainya. Jadi perkara ini kita pandang serius kerana merekalah mempertahankan— frontliner, keselamatan negara. Sudah pastilah keselamatan, keselesaan anggota polis dan juga keluarga diambil tindakan segera oleh kementerian supaya ia tidak dianaktirikan dalam keadaan pembangunan dan juga keadaan perumahan. Begitu juga pangkat yang saya sebutkan sebentar tadi. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Pengerusi, ada satu perkara yang perlu dijawab...
Yang Berhormat, Yang Berhormat punya turn sudah habis.
Apa lagi ini?
Satu perkara tentang saya. Tuan Pengerusi, saya baru terima berita dari Sarawak Disaster Management Committee, bahawa saya tidak dibenarkan ke Sarawak kerana saya telah di-blacklisted oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Saya hendak tanya Kementerian Dalam Negeri...
Ini bukan bahas. Ini bukan bahas.
Jadi saya harap Menteri boleh jawab, kenapa Ahli Parlimen dari Malaysia ini... [Pembesar suara dimatikan]
Okey, Yang Berhormat. Yang Berhormat Batu, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Terima kasih kerana bagi peluang untuk Batu berbahas. Seperti mana Kementerian Dalam Negeri belanja untuk perbelanjaan mengurus sebanyak RM13 bilion dan juga pembangunan RM3 bilion, di mana belanja mengurus lebih besar iaitu berbeza RM10 bilion tetapi saya— saya baca Butiran 020000 – Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Butiran 020200 – Kesukarelawan, Butiran 020300 – Kawalan Sempadan dan Butiran 020400 – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah pun ada penurunan walhal penjawat awam untuk bahagian penguatkuasaan inilah perlu diberi lebih peruntukan berbanding dengan bahagian pengurusan. Saya juga pergi ke Butiran 050600 – Kad dan Dokumen Pengenalan yang menunjukkan pertambahan peruntukan daripada RM10 juta kepada RM42 juta. Saya mohon Yang Berhormat Menteri atau Yang Berhormat Timbalan Menteri menjelaskan, kenapa ada peruntukan daripada RM10 juta meningkat jauh lebih daripada RM42 juta?
Yang Berhormat Batu, mohon mencelah?
Okey, boleh.
Terima kasih Yang Berhormat Batu kerana memberi peluang kepada saya. Ini kerana saya tidak termasuk dalam giliran. Saya ingin bertanya dalam Butiran 12000 – Balai-balai dan Pondok Polis (PDRM). Apakah
peruntukan tersebut termasuk pembinaan IPD Tampin? Tuan Pengerusi, IPD Tampin telah dibina sejak tahun 1932 di mana keadaannya terlalu uzur dan jumlah kakitangan yang bertugas terlalu padat dan tidak sesuai lagi. Saya juga dimaklumkan pembinaan IDP Tampin telah diluluskan tetapi pembiayaannya dibawa ke tempat lain. Oleh sebab itu, saya berharap perbelanjaan tahun 2022 termasuk pembinaan IPD Tampin. Terima kasih Yang Berhormat Batu dan terima kasih Tuan Pengerusi.
Boleh masukkan dalam ucapan saya. Saya terus ke Butiran 051100 – PDRMnet, yang pada tahun 2021 ia diperuntukkan RM200 juta tetapi pada tahun 2022, tahun hadapan kosong. Saya minta Yang Berhormat Menteri atau Yang Berhormat Timbalan Menteri bagi penjelasan berkaitan butiran tersebut. Butiran 051800 – Penjara Satelit, di mana ini adalah satu perkara yang baharu kalau tidak silap saya dan telah diperuntukkan RM96 juta bagi penjara satelit ini. Bagi saya ini adalah satu inisiatif yang bagus di mana untuk mengatasi kesesakan banduan. Akan tetapi apabila saya terbaca dalam artikel Astro Awani dikatakan bahawa 13 buah penjara satelit akan ditubuhkan daripada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini. Bagi saya, kalau betul hanya 13 buah penjara satelit yang digunakan dengan peruntukan RM96 juta, saya rasa peruntukan itu amat terlalu tinggi kalau kita bahagikan sebuah penjara satelit akan menggunakan RM7.3 juta. Saya terus kepada Butiran 08500 – Perumahan (PDRM). Hanya RM500,000 sahaja diperuntukkan untuk membantu kemudahan perumahan PDRM. Kenapa penjara satelit boleh dapat RM96 juta tetapi apabila kita bincang fasal perumahan pihak pegawai polis, hanya RM500,000? Seperti mana saudara saya Yang Berhormat Jempol tadi beritahu, memang tidak cukup untuk pegawai polis dalam membantu kemudahan perumahan. Saya harap pihak kementerian boleh teliti balik ataupun membantu meningkatkan peruntukan untuk bantu pegawai polis. Last, Butiran 02000 – Agensi Antidadah Kebangsaan. Apabila saya nampak butiran ini, saya dukacita sebab ada pemotongan hampir setengah daripada RM104 juta ke RM56 juta. Kesan daripada pemotongan peruntukan ini adalah satu kesan yang besar di mana banyak program akan dipotong, banyak program kesedaran terutamanya kalau kita tidak ada program-program atau penguatkuasaan, how we will overcome the problem? Dengan izin, Tuan Pengerusi. So, saya harap pihak kementerian boleh terangkan, kenapa ada pemotongan yang besar untuk Agensi Antidadah Kebangsaan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu. Yang Berhormat Libaran, silakan.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang kepada Libaran untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2022 peringkat Jawatankuasa. Saya ingin menyentuh perkara di bawah Maksud Pembangunan 62, di bawah Butiran 12000 – Balai-balai dan Pondok Polis (PDRM). Kehadiran sebuah bangunan keselamatan di sesuatu kawasan sebenarnya boleh menghindarkan perasaan selamat, aman dan juga terlindung kepada seseorang. Secara tidak langsung, bangunan keselamatan juga dikira sebagai mampu menggambarkan tahap kepedulian, keprihatinan dan kepekaan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan individu, komuniti dan juga negara. Saban tahun, pihak Kerajaan Persekutuan telah mengadakan peruntukan tahunan bagi pembinaan, baik pulih dan juga tambah baik balai-balai polis bagi tujuan memberi perkhidmatan jaminan keselamatan yang berkesan kepada masyarakat setempat demi memelihara keamanan dan ketenteraman awam dari semasa ke semasa. Justeru itu, dalam konteks memperkasakan keselamatan, saya ingin mohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi pertimbangan ke atas cadangan untuk
membina atau naik taraf satu pondok bit polis di Pulau Nunuyan, naik taraf ataupun membina baharu bit polis di Pulau Libaran serta penambahbaikan mahupun membina baharu balai polis di daerah Sandakan. Hal yang demikian, adalah penting dalam konteks tekanan kerja di kalangan anggota PDRM berlaku akibat beberapa faktor yang melibatkan persekitaran dan tempat kerja. Pembaikan dan penambahbaikan mahupun bina baharu kemudahan-kemudahan logistik PDRM adalah sangat diperlukan bagi memastikan keefisienan bangunan balai polis dalam pengoperasian seharian untuk keamanan. Seperkara lagi ialah saya telah melawat ke Kampung Sungai Daling di mana kawasan dan ramai ketua-ketua dari kampung ini berjumpa dengan saya supaya diadakan satu pondok polis atau pondok bit polis di kawasan ini kerana berlaku beberapa kali penyeludupan barang-barang dari negara luar untuk di bawa ke daerah Sandakan.
Saya mohon juga pihak PDRM atau pihak keselamatan untuk melawat, untuk meninjau, kaji selidik untuk menyelesaikan masalah di kampung ini di mana ramai orang kampung terlalu risau sangat dengan keselamatan mereka. Kalau betullah atau benarlah apa yang berlaku ini, saya mohon juga kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya dapat membina pondok polis atau bit pondok polis di kawasan ini demi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan ini. Sekian Tuan Pengerusi, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Libaran. Yang Berhormat Sepang, silakan.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi. Tuan Pengerusi, sebelum saya meneruskan perbahasan ini, saya ingin meminta supaya Tuan Pengerusi mungkin mengingatkan balik Menteri-menteri ini, sebab hari itu Tuan Pengerusi ada mengatakan bahawa mesti memberi jawapan dalam masa lima hari. Akan tetapi nampaknya, kepatuhan itu tidak begitu konsisten. Saya harap dapat Tuan Pengerusi mengingatkan baliklah. Itu yang pertama. Keduanya saya ingin pergi kepada terus kepada butiran mengenai Butiran 020100 – Kepolisan. Kalau kita lihat dalam buku bajet ini Tuan Pengerusi, dinyatakan visi KDN ini ialah untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai negara yang berdaulat dan selamat. Misinya adalah untuk menjaga keselamatan ataupun keselamatan negara dan negeri terjamin dan terpelihara. Saya nak bangkitkan di sini Tuan Pengerusi, pertamanya mengenai apakah yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan khususnya kementerian ini berkaitan dengan pendedahan daripada mantan Ketua Polis Negara berkaitan dengan campur tangan Menteri Dalam Negeri terhadap pelantikan pegawai-pegawai kanan polis di Bukit Aman khususnya yang melibatkan jawatan di Jabatan Cawangan Khas. Seperti mana yang kita tahu, bahawa ada audio yang memang pun telah terdedah. Jadi saya nak tanya, apakah yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menyiasat dakwaan daripada pihak mantan Ketua Polis Negara ini kerana ini adalah satu dakwaan yang begitu serius, apatah lagi dikatakan oleh mantan Ketua Polis Negara. Pihak Menteri yang ada sekarang ini yang bagi saya is a failed Minister telah pun mengarahkan satu operasi untuk dibuat, dilakukan oleh Jabatan Cawangan Khas untuk kepentingan beliau sendiri. Ini bagi saya, satu keadaan yang begitu menakutkan kita semua kerana bilamana seorang Menteri boleh arahkan Cawangan Khas untuk buat satu operasi tertentu, kita khuatir dia mungkin disalahgunakan dan mungkin akan dilakukan untuk tujuan politik. Jadi, saya minta – Saya minta Timbalan Menteri akan jawab nanti untuk dedahkan apakah telah dilakukan. Adakah beliau telah dipanggil ataupun adakah mana-mana orang telah ditangkap? Adakah dakwaan daripada Ketua Polis Negara ini memang benar atau tidak? Kalau tidak benar, kenapa tidak benar? Kalau benar, apa telah dibuat? Adakah pihak Kementerian Dalam Negeri sendiri diarahkan untuk mungkin berehat sementara,
tidak mengganggu siasatan? Saya agak concerned dengan ini Tuan Pengerusi, kerana saya sendiri telah pun diberikan laporan polis. Saya terima daripada seorang pengadu di Kampung Jawa di Klang Selatan, mendedahkan bagaimana ada satu laporan polis dibuat ke atas Menteri ini berkaitan dengan satu tuduhan kononnya beliau telah mempengaruhi siasatan kes tanah di Lot 6519 Lorong Kota Raja 8, Batu 1 Kampung Jawa, yang mana dikatakan beliau telah campur tangan. Walaupun ada seorang Ahli Parlimen iaitu Yang Berhormat Kota Raja telah berjumpa dengan Menteri ini dan minta satu tindakan dibuat dan beliau janji untuk ambil tindakan, tetapi sampai sekarang kata pengadu ini dalam laporan polis dibuat, tidak ada tindakan dibuat. Jadi saya tanya, apakah status penyiasatan laporan polis ini? Kalau tidak ada perkembangan, kenapa tidak ada perkembangan? Kalau ada perkembangan, apakah statusnya? Saya minta kalau boleh, Menteri menjawab dengan telus dan dengan terperinci supaya kita dapat jawapan ini dan kita boleh beritahu kepada rakyat apakah telah berlaku. Terakhir, saya nak tanya juga berkaitan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan juga Jabatan Imigresen. Saya nak tanya kepada pihak Timbalan Menteri, saya tahu setelah berlakunya pandemik ini, sudah tentulah permintaan kepada permohonan untuk mendapatkan pasport-pasport sudah pun makin berkurang. Boleh tidak terangkan berapakah jumlah pengurangan itu dan apakah kesannya kepada sumber pendapatan pihak kementerian sendiri? Seterusnya saya nak tanya, di Sungai Pelek, di DUN Sungai Pelek itu di Parlimen Sepang, sebelum ini memang ada Jabatan Pendaftaran Negara dan juga jabatan – Khususnya di Sungai Pelek itu sendiri ada Jabatan Imigresen, tetapi telah pun ditutup. Adakah pihak kerajaan berhasrat untuk buka semula? Kalau tidak, kenapakah tidak berhasrat? Saya minta supaya dapat memberikan jawapan. Kalau tak boleh, jawapan bertulis pun tak apa. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sepang. Yang Berhormat Tumpat, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Pertamanya saya ingin menyentuh Butiran 030100. Saya ingin menyentuh mengenai isu pemalsuan kad pengenalan yang masih menjadi kebimbangan kepada rakyat di negara ini. Statistik sejak tahun 2019 hingga April tahun ini, menunjukkan hampir 200 individu terlibat dalam sindiket jenayah pemalsuan kad pengenalan. Saya ingin mengetahui, apakah kementerian mempunyai perancangan strategik jangka panjang bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara ini khususnya menghapuskan sindiket pemalsuan kad pengenalan daripada terus berleluasa dan mengesan kesemua mereka yang mendapat kad pengenalan palsu ini demi kedaulatan negara. Apakah ada rancangan untuk menaik taraf MyKad dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih canggih bagi mengelakkan jenayah pemalsuan ini berterusan? Saya juga tertarik dan menyokong cadangan supaya ada satu jawatankuasa siasatan khusus atau penubuhan satu suruhanjaya siasatan diraja bagi mengatasi isu ini secara komprehensif memandangkan ia telah berlarutan sejak sekian lama. Apakah pandangan kementerian berkenaan perkara ini? Seterusnya Butiran 030200. Mengenai butiran ini, saya ingin membangkitkan mengenai isu kemasukan pelancong dari China dan India yang tidak mempunyai rekod keluar. Walaupun kes ini telah pun dilaporkan sejak tahun 2018, namun ia sehingga hari ini, rakyat masih tertanya-tanya apakah isu ini telah diselesaikan oleh kerajaan sebaiknya. Sehubungan itu, saya ingin bertanya, sejauh manakah siasatan terhadap perkara ini dilaksanakan oleh pihak kementerian? Saya ingin menekankan perkara ini mesti diberi perhatian yang serius oleh kerajaan kerana ia berkait dengan kedaulatan negara. Seterusnya Butiran 020300 – Kawalan Sempadan. Kementerian telah membangunkan sebuah Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan bagi menangani pengganas dan ekstremis yang mungkin
bersarang dalam negara. Cuma saya ingin mengetahui apakah fokus yang diketengahkan dalam pelan tindakan tersebut? Sejauh mana sesi libat urus bersama kumpulan pakar dan ahli akademik dilaksanakan? Apakah ada kerjasama rentas sempadan dilaksanakan melibatkan kumpulan daripada negara Asian? Tuan Pengerusi, dalam konteks kawalan sempadan negara, tugas tersebut kini telah diambil alih oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai satu agensi tunggal yang mengawal sempadan negara susulan penstrukturan terhadap Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM). Saya ingin mengetahui apakah faktor yang mendorong kepada langkah penstrukturan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia? Apakah keanggotaan bagi kawalan sempadan di bawah PGA mencukupi ketika ini serta apakah pihak kementerian menyediakan bantuan kebajikan yang mencukupi kepada anggota yang berkhidmat menjaga sempadan negara ketika ini? Selain itu, saya juga ingin mengetahui berapakah peruntukan yang diletakkan bagi perolehan aset berteknologi tinggi dalam mengawal sempadan negara seperti radar serta drone dan seumpamanya. Seterusnya Tuan Pengerusi, Butiran 020100. Saya ingin bertanya, apakah ada pasukan tindakan khas yang menggantikan peranan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dalam PDRM setelah ia dibubarkan ketika di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan yang lalu.
Apakah kementerian bercadang menubuhkan semula pasukan tindakan khas ini bagi menjamin keselamatan negara daripada jenayah-jenayah terancang ini? Seterusnya, saya ingin menambah daripada aspek pinjaman along yang tertakluk di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Saya ingin tahu, sejauh manakah kempen- kempen kesedaran dilaksanakan bagi memberikan kesedaran kepada rakyat supaya menjauhi pinjaman along ini? Saya juga ingin mengetahui, berapakah jumlah kes tangkapan along yang dibuat dalam tempoh pelaksanaan PKP 3.0 ini, memandangkan mereka akan mengambil kesempatan sepenuhnya ketika rakyat berhadapan dengan kesempitan hidup ini? Jadi mohon jawapan daripada kementerian. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Yang Berhormat Kalabakan, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya juga ingin membahaskan Kementerian Dalam Negeri. Saya terus kepada Butiran 020400 – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Butiran 051300 – Penugasan ESSZONE, Butiran 08800 – Pembangunan ESSCOM. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman yang akan bersara pada 11 Disember ini di atas segala sumbangan dan bakti yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sabah khususnya. Menyentuh mengenai butiran yang berkaitan dengan ESSCOM dan ESSZONE, diperuntukkan sejumlah RM125 juta yang mana bagi pengurusan berjumlah RM51.2 juta dan pembangunan berjumlah RM73.8 juta. Tahun 2020 diperuntukkan RM66 juta bagi pembangunan ESSCOM dan pada tahun 2021 diperuntukkan RM60 juta. Apakah aset- aset yang dibeli dan adakah semua peruntukan ini dibelanjakan pada tahun yang sama? Bagi mengukuhkan lagi kawalan sempadan di kawasan ESSZONE, saya minta agar peruntukan RM73.8 juta untuk tahun hadapan ini dibelanjakan sepenuhnya untuk penambahan aset-aset terkini seperti radar berteknologi tinggi dan 30 buah bot tempur. Saya bersetuju dengan cadangan ESSCOM bagi menempatkan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai first responder di kawasan penempatan ramai penduduk. Selain daripada itu, cadangan pewujudan forward operation base bagi Pasukan Gerakan Udara
(PGU) di Tawau juga adalah satu tindakan yang strategik dan perlu untuk tempoh jangka panjang. Dua cadangan ini saya mohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan sebaiknya. Penduduk Sabah sekali lagi berasa terancam dengan portal berita yang dikeluarkan hari ini oleh South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong yang melaporkan terdapat perancangan rahsia untuk menyerang Sabah yang dirancang di Sulu, selatan Filipina. Portal tersebut menyebut, “Secret plot to invade Malaysia’s Sabah with Sulu militia hatched in southern Philippines”. Dilaporkan dalam portal tersebut, perbincangan rahsia dilakukan oleh 19 orang mayor di selatan Filipina, merekrut 600 orang untuk menawan Sabah dan melakukan pergerakan intipan di bandar-bandar pesisir Sabah. Sabah pernah dicerobohi pada tahun 2013 oleh pengganas Sulu dan pengalaman tersebut cukup memberi kesan mendalam di hati sanubari rakyat Sabah akan betapa rapuhnya penguatkuasaan kawasan kawalan ke atas sempadan negara kita di pantai timur Sabah pada ketika itu. Kerajaan Malaysia harus memberi respons tegas dan pantas atas isu yang sangat serius ini dengan memanggil Duta Filipina untuk memberikan maklum balas sesegera mungkin. Seterusnya, saya ingin menyentuh Butiran 030100 – Pendaftaran Negara. RM363.9 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara. Baru-baru ini, saya dimaklumkan berkenaan rungutan daripada rakyat Sabah yang masih menunggu untuk dikeluarkan sijil lahir anak mereka walaupun sudah menunggu lebih satu bulan. Ada juga kes yang melibatkan sijil kematian. Apa yang mengejutkan saya, alasan yang diberi oleh Jabatan Pendaftaran Negara Sabah adalah mereka kehabisan kertas cetak bagi mencetak sijil pendaftaran kelahiran dan kematian. Jadi saya mohon kepada kementerian untuk menyiasat kerana ini satu perkara yang amat memalukan. Adakah JPN sedar akan kesulitan yang bakal ditanggung oleh waris-waris? Urusan yang sepatutnya dapat diselesaikan segera terpaksa ditangguhkan dan sebagai waris terpaksa membazir banyak masa, membelanjakan lebih banyak wang dan menghadapi tekanan kerana dokumen utama seperti sijil kematian gagal disediakan untuk sebarang urusan-urusan penting yang berkehendakkan segera. Seterusnya ialah Butiran 040100 – Pembanterasan Dadah. Sehingga hari ini, Sabah masih lagi diberi gelaran sebagai pusat transit pengedaran dadah oleh negara Indonesia. Gelaran yang diberikan ini adalah tamparan hebat kepada kerajaan penguat kuasa dan juga rakyat Sabah dalam usaha kita memerangi dadah. Ini menunjukkan betapa tahap ancaman dadah di Sabah adalah amat membimbangkan. Dadah adalah ancaman yang sangat serius di negara kita selama berdekad-dekad. Namun, walaupun pelbagai usaha operasi dan tangkapan dibuat, sindiket di Sabah masih terus dapat beroperasi seolah-olah mereka diberikan perlindungan tertentu oleh pihak tertentu. Saya mohon kementerian menyatakan adakah terdapat hubung kait dengan jumlah anggota narkotik yang berjumlah kira-kira 5,000 orang di seluruh negara dengan ketidakmampuan kerajaan membanteras jenayah dadah ini? Jika benar, mengapakah jumlah ini tidak ditambah? Penularan dadah di kawasan luar bandar di Sabah amat membimbangkan. Saya mohon kerajaan menyatakan strategi yang dibuat bagi mengekang pengedaran dan penagihan dadah, khususnya di luar bandar. Minta dua minit.
Satu minit.
Seterusnya, ialah Butiran 030200 – Hal Ehwal Imigresen. Tiga minggu yang lalu, Ketua Menteri Sabah telah mengeluarkan kenyataan bahawa proses penghantaran pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina yang berada di depot tahanan imigresen di Sabah mengalami kelewatan berikutan ketiadaan dokumen perakuan daripada Kerajaan Filipina. Kenyataan ini mencerminkan pembohongan pemimpin kerajaan semasa berkempen di pilihan raya Sabah yang lalu bahawa jika Kerajaan Negeri Sabah yang baharu dapat dibentuk, maka kesemua PATI ini akan segera dihalau keluar dari Sabah. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, bilakah kali terakhir Kerajaan Filipina menerima rakyat mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan
yang sah pulang semula ke negara mereka? Saya juga mohon diberikan maklumat berapakah jumlah tahanan di depot tahanan imigresen di seluruh Sabah ketika ini berbanding kapasiti sebenar? Terakhir, Butiran 051800 – Penjara Satelit. Saya difahamkan bahawa kewujudan penjara satelit ini adalah bagi mengatasi kesesakan di penjara-penjara seluruh Malaysia. Namun saya ada beberapa persoalan. Pertama, penjara seperti ini telah diwujudkan pada awal tahun ini yang berjumlah 13 buah penjara. Memandangkan tiada peruntukan yang spesifik untuk penjara satelit di dalam Belanjawan 2021, saya ingin tahu, dari manakah peruntukan ini diambil? Berapakah yang telah dibelanjakan dan pecahan jenis perbelanjaan bagi setiap penjara satelit tersebut? Terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Kalabakan. Seterusnya Yang Berhormat Kuala Krai.
Terima kasih, Tuan Pengerusi. Bismillahi Rahmani Rahim. Saya juga ingin mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua anggota keselamatan terutamanya anggota polis, lebih-lebih lagi anggota polis dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang menjadi antara elemen terpenting dalam menjaga keselamatan kita semua dan merupakan barisan hadapan utama dalam memerangi COVID-19. Tuan Pengerusi, saya ingin merujuk kepada Kepala B.62 Butiran 12000 – Balai- balai dan Pondok Polis (PDRM). Untuk tahun 2022, peruntukan ini telah ditambah sebanyak RM18 juta iaitu kepada RM29 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM11 juta. Saya mengucapkan terima kasih atas peningkatan peruntukan ini kerana terdapat keperluan yang besar dan mendesak, khususnya untuk kawasan Kuala Krai. Saya mulakan dengan cadangan untuk membina sebuah ibu pejabat polis daerah yang baharu di Kuala Krai. IPD yang tersedia sudah terlalu lama dan terlalu uzur yang dibina sejak puluhan tahun dahulu. Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Menteri, terdapat sekeping tanah yang telah tersedia di Kampung Pahi yang sesuai untuk tujuan tersebut. Saya memohon cadangan ini dipertimbangkan segera khususnya melalui rolling plan terdekat iaitu Rolling Plan 2, RMKe-12 kerana ia adalah keperluan yang sangat mendesak. Butiran yang sama Tuan Pengerusi, ingin saya rujuk ialah iaitu saya ingin memohon pembinaan sebuah balai polis di Laloh. Terdapat sekeping tanah yang dikhaskan untuk Balai Polis Laloh. Balai polis yang ada sekarang ini saya difahamkan disewa melalui rumah kedai dan tidak terdapat kemudahan perumahan untuk polis. Menerusi peruntukan yang besar pada tahun 2022, saya amat berharap agar perkara ini diperhalusi oleh kementerian dengan sebaiknya. .
Tuan Pengerusi, merujuk pada Kepala B.62 Butiran 22000 – Kenderaan (PDRM), juga kenaikan yang begitu ketara daripada RM1,000,0099 kepada RM30,750,000. Saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Menteri dan pihak kementerian. IPD Kuala Krai juga memerlukan sebuah van jenazah yang baharu bagi menggantikan van jenazah yang sudah terlalu lama dan selalu rosak. Seperti yang kita maklum, van jenazah sangat diperlukan oleh pihak IPD kerana sentiasa menguruskan kes-kes yang melibatkan kematian. Butiran seterusnya Tuan Pengerusi ialah Kepala B.62 Butiran 040100 – Pembanterasan Dadah. Setiap tahun kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk tujuan pembasmian dadah. Pelbagai kempen dan usaha telah dibuat, namun najis dadah masih merupakan musuh utama kepada penduduk negara ini, terutama generasi muda yang menjadi harapan negara pada suatu masa nanti. Saya ingin bertanya, apa sebab
utama kita tidak berjaya mengekang penagihan dadah, terutama dalam kalangan anak muda? Berapakah jumlah penagih dadah dalam kalangan remaja pada tahun 2020 sehingga Disember 2021 ini? Adakah keberkesanan Program Rawatan Terapi Gantian Dadah (RTG) yang diperkenalkan semenjak tahun 2005? Adakah penggunaan methadone berkesan untuk mengurangkan ketagihan dadah? Saya difahamkan penagih dadah hanya menggunakan methadone apabila mereka tidak mempunyai wang untuk membeli bekalan dadah. Saya sangsi dengan keberkesanannya. Saya mencadangkan terapi rohani dan keagamaan perlu diberikan penekanan kepada penagih-penagih dadah ini. Melalui butiran yang sama Tuan Pengerusi, saya ingin menanyakan berkaitan usaha yang serius dan komprehensif yang dilakukan oleh pihak kementerian bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah yang seakan tidak berpenghujung dan membimbangkan. Ini perlu langkah yang tegas dan tanpa berkompromi bagi memastikan negara kita selamat dan generasi kita terpelihara. Butiran terakhir ialah Kepala P.65, Butiran 58000 – Sekolah Henry Gurney (Penjara). Banyak penurunan dalam peruntukan tahun 2022 daripada RM8,300,000 kepada hanya RM1,800,000 sahaja. Tuan Pengerusi, terdapat 1,252 orang banduan muda dan 1,123 orang juvana di Sekolah Henry Gurney. Melalui butiran ini saya ingin memohon pihak kementerian menaik taraf kelas konvensional kepada kelas abad ke-21 iaitu kelas digital. Begitu juga penambahbaikan bengkel kemahiran untuk Sijil Kemahiran Malaysia iaitu bengkel elektrik, bengkel jahit, bengkel paip dan bengkel jentera ringan. Menambah baik kelengkapan gimnasium untuk persijilan sukan seperti Muay Thai, tinju dan angkat berat. Saya ingin menanyakan, adakah penghuni yang telah selesai menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney tertakluk kepada Akta Kanak-kanak 1991(2) dan tidak akan mempunyai rekod kesalahan jenayah? Justeru itu, adakah mereka dapat memohon kerja dengan pihak kerajaan seperti memohon kerja dengan polis ataupun tentera dan sebagainya? Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Yang Berhormat Tuaran, tidak ada dalam Dewan. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Kuala Langat.
Terima kasih Tuan Pengerusi kerana Kuala Langat hendak ambil bahagian dalam pembentangan bajet untuk Kementerian Dalam Negeri. Saya rujuk kepada Objek Am, Butiran 20000 – Perkhidmatan dan Bekalan. Tuan Pengerusi, saya hendak minta kementerian, apa yang telah jadi kepada isu MM2H ini yang sekarang di bawah Kementerian Dalam Negeri. Saya rasa kita kena ada satu pendirian yang tetap. Pada masa yang sama juga janganlah kita adakan bayaran yang sangat tinggi untuk kita tidak hendak bagi orang masuk ke dalam negara kita. Saya tahu bahawa Malaysia ini sangat attractive untuk orang-orang luar, untuk gunakan MM2H untuk datang dan tinggal di Malaysia. Pada masa yang sama, saya tahu ada lah orang-orang yang salah guna permit ini ataupun ada orang-orang yang kita tidak hendak datang kepada negara kita, duduk di sini dan sebagainya. Akan tetapi itu semua dalam cara penguatkuasaan kita. Janganlah hukum orang- orang yang suka hendak duduk dalam negara kita sebab ada lah beberapa orang yang katakan bawa nama buruk kepada program ini. So, saya minta kementerian untuk kaji dan datanglah kepada satu pembayaran yang munasabah dan juga ada persaingan di antara negara-negara di dalam ASEAN untuk mereka datang. Ini satu yang baik sebab ia akan bagi kerajaan dan keuntungan kepada negara. Perkara kedua yang saya hendak bawa ialah apa yang telah jadi kepada kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah. Ini adalah kepada anak-anak yang telah dilahirkan oleh wanita-wanita warganegara kita yang telah kahwin dengan orang-orang asing. Ini sebab saya tahu bahawa kes yang telah dibawa di dalam mahkamah dua kali, dua kali pun kerajaan gagal dalam kes ini. Saya dengar bahawa kita hendak tukar beberapa perkataan di dalam Perlembagaan kita untuk kita kembali bawa satu yang
terbaik untuk isu ini. Bilalah perkara ini akan dibawa kepada Parlimen untuk kita selaraskan di dalam Perlembagaan dan memberikan kuasa penuh kepada wanita kita yang dapat anak ini sebagai warganegara Malaysia dan dia boleh terus hidup dan duduk dalam negara kita sebagai warganegara Malaysia? So, saya harap boleh dapat jawapan daripada kementerian atas isu ini. Akhirnya sekali, saya hendak rujuk kepada Butiran 08500 – Perumahan (PDRM), Butiran 11000 – Ibu Pejabat Polis (PDRM) dan Butiran 12000 – Balai-balai dan Pondok Polis (PDRM). Ini ialah kedudukan kebajikan kepada pegawai-pegawai PDRM di dalam negara kita, isu perumahan mereka. Saya harap kementerian akan ambil satu tindakan yang baik untuk naik taraf untuk rumah-rumah ini kepada pegawai-pegawai kita yang sentiasa kerja setiap hari dalam hujan dan panas di seluruh negara ini untuk mereka dapat perumahan yang baik pada masa mereka bertugas di dalam PDRM. Dalam pengalaman saya juga, di ibu pejabat dan juga di balai polis dan pondok- pondok di dalam kawasan, ada banyak masalah tentang equipments mereka. Seperti komputer, aircond, komputer lama. Mereka kena bertugas dalam situasi macam ini. Bolehkah kementerian naik taraf balai-balai polis kita ataupun balai ibu pejabat kita untuk selaras dengan apa yang kita ada di Putrajaya? Oleh sebab mereka boleh kerja baik dan juga bertugas sebagai seorang pegawai di dalam Kerajaan Malaysia untuk bawakan nama yang terbaik untuk kita. PDRM ini ialah satu-satu kumpulan yang sangat penting untuk penduduk di dalam kawasan. Kita selalu perlukan bantuan dan pertolongan daripada mereka atas isu keselamatan penduduk di dalam sebuah kawasan. So, saya minta kerajaan untuk memberi tumpuan kepada isu ini dan juga kepentingan ialah kepada kebajikan pegawai-pegawai polis di dalam PDRM. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Langat. Seterusnya, Yang Berhormat Kota Kinabalu.
Tuan Pengerusi, saya ingin merujuk kepada Butiran 020400 - Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), yang diperuntukkan RM26.481 juta; Butiran 051300 – Penugasan ESSZONE, yang diperuntukkan RM25.31 juta dan Butiran 08800 – Pembangunan ESSCOM, yang diperuntukkan RM73.8 juta. Di sini saya ingin membangkitkan Laporan PAC Parlimen yang baharu dihantar ke atas meja pada minggu ini berhubung aktiviti kawalan keselamatan dan penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia di bawah KDN. Antara isu yang dibangkitkan dalam laporan ini ialah kesediaan dan keupayaan aset untuk melaksanakan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia masih belum mencapai prestasi yang optimum.
Daripada jumlah aset sebanyak 814 yang dimiliki, hanya sebanyak 532 aset yang boleh digunakan. Sebanyak 592 buah daripada 814 buah aset berusia antara 11 hingga 20 tahun. Saya ingin bertanya sama ada ESSCOM pun ada masalah yang sama seperti ini. Adakah pihak KDN memperuntukkan apa-apa peruntukan supaya memperkasa atau menambah baik aset-aset untuk ESSCOM? Selain itu, Laporan PAC yang sama juga membangkitkan isu bahawa tidak terdapat Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) di perairan pantai timur Sabah yang mengakibatkan pengawalan tidak dapat dibuat di keseluruhan kawasan liputan termasuk di ESSZONE. Adakah kerajaan memperuntukkan apa-apa peruntukan untuk mewujudkan SWASLA di perairan pantai timur Sabah dan ESSZONE? Sila Yang Berhormat Menteri jawab. Sejak pagi ini, kita terima satu report daripada South China Morning Post dengan tajuk “Secret plot to invade Malaysia’s Sabah with Sulu militia hatched in southern Philippines: security source”. Andainya laporan ini source-nya atau sumber berita ini sahih,
adakah kita bersedia untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara kita berikutan kelemahan yang telah didedahkan oleh laporan-laporan PAC? Saya difahamkan bahawa di bawah RMKe-12, Pos Kawalan Sempadan Manalunan dan Pos Kawalan Sempadan Simanggaris akan ditubuhkan. Selain itu, kem tentera di Felda Sahabat, kem Pasukan Gerakan Am, Pos Kawalan Kuala Meruap dan Pos Kawalan Siguntur serta island forward operation base (IFOB) di Tambisan juga akan ditubuhkan. Selain itu, Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata bahawa ESSCOM juga telah meminta enam buah pesawat pengawasan, 15 buah radar dan 20 buah bot penyerang untuk dibekalkan kepada ESSCOM tetapi tiada keputusan mengenai perkara itu. So, bolehkah Yang Berhormat Menteri memberikan maklum balas berkenaan benda-benda yang diminta oleh ESSCOM ini? Tuan Pengerusi, seterusnya saya ingin merujuk kepada Butiran 050000 – Program Khusus pada Butiran 050600 – Kad dan Dokumen Pengenalan yang mana peruntukannya daripada sebanyak RM10,000,000 pada tahun 2021 dinaikkan empat kali ganda kepada sebanyak RM42,000,000 pada tahun hadapan. Saya juga merujuk kepada Butiran 051000 – Membanteras Pemerdagangan Orang (MAPO) yang diperuntukkan sebanyak RM4,000,000. Dalam perkara ini saya ingin bertanya kepada kerajaan, berapakah peruntukan yang diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diberikan kad pengenalan secara tidak sah di Sabah ini?
Minta laluan.
Boleh.
Terima kasih. Terima kasih, Tuan Pengerusi. Menurut kenyataan dan pengumuman oleh Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri, sejak tahun lalu kerajaan akan mengeluarkan kad pas lawatan IMM13 atau sistem kad yang seumpamanya kepada semua pemegang kad sementara di Sabah. Ini adalah sangat menyeragamkan semua sebab anggaran seramai 136,055 orang warga asing yang memegang kad IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci ini. Jadi saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri. Apakah perkembangan semasa penyeragaman semua pemegang dokumen sementara di Sabah dan jabatan manakah di bawah Kementerian Dalam Negeri yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan program-program ini? Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Sandakan.
Ya, masukkan ucapan Yang Berhormat Sandakan sebagai sebahagian daripada ucapan saya. Akhir sekali, saya cuma hendak bertanya kerana masalah PTI di Sabah ini memang sudah lama. Baru-baru ini, berikutan dengan vaccination drive, pemvaksinan yang terbuka kepada semua orang tidak kira dia PTI atau tidak, sememangnya Kementerian Kesihatan sudah ada satu database untuk orang-orang PTI di Sabah ini yang telah menerima vaksin. So, bagaimanakah Kementerian Dalam Negeri akan menggunakan database tersebut untuk menangani isu PTI yang serius di Sabah ini? Sekian, terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Kota Kinabalu. Seterusnya, Yang Berhormat Dungun.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Pengerusi. Butiran 020100 – Kepolisan. Pertama, saya dimaklumkan bahawa pada masa ini berlakunya kelewatan proses siasatan kes jenayah bagi sesuatu kes pada masa ini kerana kekurangan yang serius bagi perjawatan Pegawai Penyiasat dalam PDRM. Apakah
perancangan yang akan dibuat oleh kementerian bagi menangani masalah ini? Kedua, bagaimanakah kementerian mengatasi masalah kekurangan penyertaan kaum bukan bumiputera dalam PDRM? Ketiga, setelah tamatnya PKP baru-baru ini, bagi menangani masalah gangguan kesihatan mental, adakah kementerian telah memberi kelonggaran untuk bercuti kepada anggota PDRM bagi memberi ruang dan masa kepada mereka untuk berehat, terutamanya kepada mereka yang berkhidmat di sekatan jalan raya (SJR)? Keempat, apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian bagi menangani isu kartel polis yang telah disebut oleh bekas Ketua Polis Negara sebelum ini? Kelima, apakah keberkesanan pusat databank DNA sehingga kini dalam meningkatkan keupayaan PDRM dalam penyiasatan kes-kes terutamanya kes-kes jenayah berat? Keenam, adakah PDRM akan mengadakan rondaan secara berjalan kaki (beat and patrol), bermotosikal (Unit Rondaan Bermotosikal) dan berkereta (mobile patrol vehicle) di kawasan-kawasan bukan tumpuan ramai? Ketujuh, dimaklumkan bahawa wujud Tabung Amanah Warisan Polis yang dikelolakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis bagi menjaga kebajikan pesara polis. Adakah kementerian bercadang untuk memberi peruntukan one-off kepada pesara- pesara polis yang bersara sebelum tahun 90-an? Seterusnya, di bawah kepolisan juga ialah saya ingin untuk kempen yang sedia ada dibuat sekarang ini iaitu berkaitan dengan saman polis dan JPJ. Kempen bayaran saman dengan pengurangan sehingga sebanyak 80 peratus. Sayangnya kempen ini hanyalah dari 9 hingga 12 Disember 2021. Sepatutnya kempen perlu dibuat sepanjang bulan Disember iaitu berakhir pada 30 Disember 2021. Hal ini kerana sistem untuk membuat semakan online tidak dapat diakses. Servernya tidak dapat menampung orang ramai untuk membuat semakan. Oleh itu, kalau sekiranya boleh, hendaklah dilanjutkan tempohnya sehingga akhir bulan Disember ini supaya kempen yang dilaksanakan itu bersungguh-sungguh untuk menarik minat supaya penyelesaian kepada bayaran saman dapat dilakukan. Seterusnya, saya pergi kepada Butiran 040200 – Kepenjaraan dan Koreksional. Pertama, saya ingin membangkitkan tentang Pusat Koreksional Dungun, Terengganu. Penjara tersebut terletak di pedalaman kawasan Bukit Besi. Saya mendapat maklumat bahawa anggota yang bertugas di sana adalah seramai 120 orang. Akan tetapi, hanya terdapat 23 buah pintu kuarters sahaja yang disediakan. Baki 80 peratus daripadanya terpaksa tinggal berjauhan di luar kawasan Bukit Besi yang mengakibatkan keselamatan dan kesukaran apabila hendak menjalankan tugas. Bahkan, ada juga yang terpaksa menyewa rumah sendiri dengan kos yang amat tinggi selain kos sara hidup yang amat menghimpit. Begitu juga dengan fasiliti yang serba kekurangan sehinggakan dewan serba guna tidak disediakan bagi anggota dan ahli keluarga yang tinggal di situ yang ingin menjalankan aktiviti sosial bersama masyarakat. Kedua, saya memohon agar peruntukan pembangunan ditambah dan diluluskan. Selain daripada itu, perlu juga kepada penilaian gaji dan juga kebajikan kepada semua anggota beruniform ini yang bertujuan untuk menaikkan semangat kerja dalam kalangan anggota dalam melaksanakan tugasan harian tanpa mengira masa dan tenaga apabila diperlukan dalam tugasan serta ia dilihat setaraf dengan jabatan yang lain. Terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih, Yang Berhormat Dungun. Seterusnya, Yang Berhormat Petaling Jaya.
Terima kasih, Tuan Pengerusi. Saya merujuk kepada Butiran 050000 – Program Khusus. Tuan Pengerusi, pada 10 Disember adalah Hari Hak Asasi Manusia iaitu esok. Juga, Malaysia telah menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia. Namun, pada masa ini kita masih melihat pelanggaran hak asasi manusia di Malaysia, kepada rakyat Malaysia dan juga pendatang, pelarian dan pekerja asing.
Saya harap dalam program butiran yang disebut. Dalam program kementerian, bilakah undang-undang draconian seperti Akta Hasutan, undang-undang POCA dan POTA dapat dimansuhkan kerana akta-akta ini membenarkan penahanan tanpa bicara? Butiran 030000 – Pengurusan Pendaftaran dan Imigresen. Pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) belum diluluskan dan terdapat banyak masalah dan eksploitasi yang berlaku. Pada masa ini, saya ada 75 kes yang berkaitan dengan penderaan fizikal, emotional, penipuan serta godaan palsu. Antara kes tersebut ialah majikan menahan pasport mereka atau dokumen mereka pekerja. Majikan tidak membaharui permit dan dengan imigresen atau bergantung pada agensi. Agensi mereka pun tidak membaharui permit dan juga visa. Saya juga ada satu kes, pekerja bekerja selama lapan tahun yang mana tidak ada cuti rehat dan juga tanpa komunikasi dengan sesiapapun dan bekerja tanpa dokumen dan kontrak. Kes-kes semua ini tidak sampai ke kerajaan atau polis kerana mereka takut tangkapan dan seksaan. Namun, tidak ada pemantauan daripada pihak imigresen dan saya harap Yang Berhormat Menteri akan jawab dan bukan salurkan kepada Kementerian Sumber Manusia dan juga KDN terhadap aktiviti-aktiviti yang haram yang tersebut. Soalan saya, bilakah pindaan kepada ATIPSOM akan diluluskan dan bilakah imigresen akan mengadakan pengurusan yang lebih compassionate dan mengiktirafkan bahawa warga asing adalah manusia? Bolehkah KDN dan juga pihak imigresen menubuhkan jawatankuasa pemantauan pekerja asing khas untuk memastikan hak pekerja dilindungi. Jika tidak, kita akan gagal menjaga nama baik Malaysia sebagai Majlis Hak Asasi Manusia. Selain daripada itu, Butiran 051000 – Membanteras Pemerdagangan Orang (MAPO) yang berjumlah RM4 juta. Bolehkah Yang Berhormat Menteri menjelaskan apa program yang akan dilaksanakan dalam bajet ini dan apakah peruntukan dalam bajet ini yang akan digunakan untuk jawatankuasa seperti yang dicadangkan? Kalau boleh. Butiran 020000 – Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam. Di mana dan berapakah peruntukan dalam bajet ini bagi menubuhkan IPCMC? Sudah lama tajuk ini timbul dalam Dewan yang mulia ini dan saya harap Yang Berhormat Menteri akan jawab. Rang undang-undang IPCC yang telah dicadangkan adalah sangat mengecewakan dan lemah dan tidak memenuhi tujuan untuk menegakkan integriti PDRM. IPCC ini yang dicadangkan tidak mempunyai kebebasan dalam menyiasat kes penderaan, rasuah dan kematian dalam tahanan serta tidak mempunyai akauntabiliti kepada orang ramai mengenai pendengaran dan keputusan yang dijalankan oleh pegawai polis. Saya harap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan dengan hak asasi manusia akan menyemak IPCC dan juga bagi satu jawapan yang baik. Butiran 020000 – Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, sama itu. Di bawah butiran ini, bajet bagi kawalan sempadan telah dikurangkan sebanyak 40.46 peratus dari tahun 2020 ke tahun 2021. Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri sila menyatakan mengapa kekurangan dalam bajet ini dan juga bagaimana kita boleh menambah bajet ini untuk meningkatkan kawalan sempadan dan menggunakan aset berteknologi tinggi yang merupakan pelan masa panjang dan komprehensif KDN sejurus selepas mencapai KPI 100 hari pentadbiran. Hal ini bertujuan untuk membanteras isu kemasukan pendatang asing tanpa izin. Aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan barangan untuk mengelakkan cukai. Saya cadangkan Yang Berhormat Menteri mengkaji semula dan menambahkan bajet dalam butiran ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Petaling Jaya. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Jerai.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang pada saya sekali lagi untuk
mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri. Perkara pertama berkaitan B.62 Butiran 050600 – Kad dan Dokumen Pengenalan. Menurut statistik jumlah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia sekarang ini mencecah 179,383 orang berbanding hanya 140,982 pada tahun 2013. Kebanyakan pelarian Rohingya yang datang ke negara kita memiliki kad pelarian ini. Ada di antara mereka yang menjadi kontraktor di kawasan luar bandar. Keadaan ini memberikan persaingan sengit kepada kontraktor tempatan kerana mereka menawarkan harga yang amat rendah. Sebagai contoh, harga sekaki ditawarkan mereka sebanyak RM1.00 sedangkan harga sebenar adalah RM300. Kebanyakan mereka tidak mempunyai komitmen yang tinggi jika dibandingkan dengan kontraktor tempatan. Kontraktor tempatan perlu memikirkan berbagai-bagai kos terutama dengan kenaikan harga bahan binaan yang melambung tinggi. Selain itu, kontraktor tempatan perlu mengupah pekerja manakala golongan Rohingya ini melakukan sendiri kesemua kerja pembinaan berkenaan. Soalan saya, sampai bilakah mereka ini dibenarkan untuk menjalankan aktiviti ini kerana dikhuatiri semakin banyak kontraktor tempatan akan gulung tikar jika perkara ini berterusan tanpa pemantauan oleh pihak kementerian. Perkara kedua, berkaitan B.62, Butiran 020500 – Penguatkuasaan Maritim. Jika di bendang ada teknologi dron untuk meningkatkan hasil pesawah, di laut ada ‘Bubu Naga’ yang dapat meningkatkan hasil nelayan. Di Jerai, dari Singkir hingga ke Kuala Sala boleh dikatakan 100 peratus nelayan menggunakan Bubu Naga ini kerana hasilnya lebih banyak jika dibandingkan dengan kaedah tradisional. Teknologi ini datang dari China dan banyak membantu nelayan meningkatkan hasil tempatan. Namun begitu, pihak berkuasa akan merampas Bubu Naga yang digunakan oleh mana-mana nelayan. Setiap nelayan yang ditangkap akan didenda sebanyak RM500. Hal ini, menyukarkan para nelayan mencari hasil di laut. Soalan saya, adakah pihak kementerian mempunyai perancangan bagi membantu golongan nelayan dalam menyediakan teknologi yang sama seperti Bubu Naga tetapi tidak mengganggu ekosistem ikan. Kita sedia maklum nelayan pantai kian bertambah saban tahun. Jadi, hasil tangkapan kian menurun jika terus menggunakan kaedah tradisional. Dengan penggunaan bubu ini dapat meningkatkan hasil tangkapan nelayan dan secara tidak langsung dapat merapatkan jurang kemiskinan luar bandar. Kementerian mungkin boleh mengkaji mengeluarkan permit atau lesen bagi penggunaan bubu ini di zon satu sahaja. Penggunaan pukat tunda di zon satu secara nyata memang merosakkan sumber jika dibandingkan penggunaan Bubu Naga. Jika betul diharamkan Bubu Naga ini, kenapakah dibenarkan dijual di kedai-kedai penjualan alatan nelayan dan kesalahan penggunaan Bubu Naga ini sebenarnya berada di seksyen ke berapa Akta Perikanan? Perkara seterusnya, B.62 Butiran 040100 – Pembanterasan Dadah. Dadah merupakan musuh nombor satu negara. Dalam usaha membasmi masalah ini, Malaysia tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran. Secara langsung ini mempengaruhi pencapaian matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara bebas dadah. Perkembangan teknologi, kecanggihan sistem komunikasi dan maklumat memberi ruangan yang cukup besar kepada penciptaan dan kemunculan dadah-dadah psikoaktif baharu dalam pasaran.
Dadah tidak lagi terhad kepada perbuatan secara konvensional di hutan atau di kawasan luar bandar tetapi lebih maju dan sofistikated dengan pemprosesan di makmal- makmal kecil dan canggih di bandar dan di rumah-rumah kediaman. Dadah jenis sintetik ataupun terbitan yang dihasilkan melalui pencampuran bahan kimia khususnya jenis amphetamine memberi kesan kekal kepada kerosakan otak pengguna yang mempengaruhi corak tingkah laku, pemikiran dan emosi mereka. Penggunaan dadah sintetik selalunya sukar dikawal dan lebih agresif berbanding penggunaan dadah lain dan boleh mengancam keselamatan orang lain. Memandangkan
dalam Dasar Dadah Negara, pengguna dadah diiktiraf sebagai pesakit maka dicadangkan agar Kementerian Dalam Negeri menggandakan penglibatan bersama pihak Kementerian Kesihatan dalam menangani kes-kes pengguna dadah yang menghadapi masalah kecelaruan mental bagi membantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). AADK tidak mempunyai kepakaran dalam menangani kes yang mempunyai masalah mental. Sehubungan itu dicadangkan ditubuhkan unit khas di setiap hospital bagi menangani masalah pesakit dadah yang mempunyai masalah mental. Setelah stabil bolehlah diserahkan kepada AADK untuk merawat pulih ketagihan dadah. Masih di butiran yang sama, saya difahamkan sehingga kini semua Pusat Serenti di seluruh negara tidak mempunyai pegawai perubatan dan pegawai psikiatri. Keperluan terhadap dua jawatan ini amatlah tinggi setiap Pusat Serenti seluruh negara kerana banyak pesakit yang memerlukan rawatan ulangan yang kerap. Dengan wujudnya pegawai ini maka rawatan pesakit di pusat ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta membantu pesakit pulih dengan lebih baik. Sekian, Tuan Pengerusi. Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Jerai. Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Kota Melaka.
Tuan Pengerusi, saya merujuk kepada Butiran 11000 – Ibu Pejabat Polis (PDRM) di mana telah diperuntukkan RM232 juta. Saya ingin minta perhatian Yang Berhormat Menteri, di mana sila pertimbangkan supaya boleh bina satu Ibu Pejabat Daerah Melaka Tengah yang baharu memandangkan IPD Melaka Tengah yang sedia ada terletak di dalam kawasan pelancongan. Maka amat sukar untuk anggota polis bertugas dan juga untuk orang ramai pergi ke IPD. Saya minta supaya dapat perhatian. Seterusnya, saya merujuk kepada Butiran 020100 – Kepolisan. Saya pergi kepada secara khususnya adalah berkaitan dengan peralatan kamera badan. Menurut jawapan bertulis pada 2 Disember tahun ini kepada Yang Berhormat Kepong di mana dalam jawapannya mengatakan perolehan kamera badan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan sebanyak 2,040 unit akan dibeli dan diagihkan ke 85 lokasi. Sudah pasti penggunaan kamera badan ini adalah penting untuk ketelusan dan juga memelihara integriti pegawai penguat kuasa. Jadi saya ingin memohon penjelasan berapakah jumlah peruntukan dalam Belanjawan untuk tahun 2022 untuk memperolehkan kamera-kamera ini dan sudah pasti bilangan 2,040 adalah tidak cukup. Jadi, apakah rancangan jangka masa panjang kerajaan untuk meluaskan penggunaan kamera badan ini. Saya ingin mencadangkan supaya kita meningkatkan peruntukan ini di bawah Belanjawan 2022 ini. Seterusnya, saya merujuk kepada Butiran 050800 – MyEG di mana sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk tahun depan. Saya ingin memohon perincian mengenai perbelanjaan ini bersama dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh MyEG kepada KDN. Kalau kita lihat pada tahun 2016, MyEG telah didenda sebanyak RM9.64 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia atas sebab menyalahgunakan kedudukan dominan dalam isu insurans dan juga pembaharuan pas lawatan kerja sementara. Ini adalah berkaitan dengan syarikat ini memonopoli. Jadi oleh itu apakah langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk memastikan supaya tiada penyalahgunaan kedudukan monopoli ini. Adakan persaingan sihat di dalam perkhidmatan yang disediakan oleh MyEG di mana saya ingin mencadangkan kepada kementerian supaya harus menjemput lebih banyak syarikat untuk menyertai memberikan khidmat yang diberikan oleh MyEG secara open tender. Sudah pasti jika ada lebih daripada satu syarikat yang boleh memberikan perkhidmatan, ia dapat menawarkan khidmat yang lebih baik kerana ada saingan dan juga dapat menawarkan bayaran yang lebih murah.
Berikutnya saya merujuk kepada Butiran P – 37000 – Pengkomputeran (Imigresen). Saya pergi kepada secara khusus mengenai dengan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe). Projek ini adalah satu projek ICT yang terbesar di Malaysia di mana ia memerlukan perbelanjaan lebih daripada RM1 bilion. Jika berbanding pula dengan semasa pada zaman Kerajaan Barisan Nasional di mana mereka implement Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN), itu jauh lebih mahal, Tuan Pengerusi. Pada masa itu ialah tahun 2017 sewaktu Kerajaan Barisan Nasional mereka hendak perkenalkan sistem baharu, belanjanya ialah RM3.5 bilion. Akan tetapi apabila Kerajaan Pakatan Harapan, kita implement dengan sistem yang baharu yang dinamakan NIISe hanya sekadar RM1 bilion sahaja. Penjimatan sebanyak RM2.5 bilion pada zaman Kerajaan Pakatan Harapan. Jadi saya harap supaya sistem NIISe yang baru ini dapat dilaksanakan secepat mungkin, lebih berkesan, lebih terbuka, lebih bersih. Maka saya memohon penjelasan apakah status projek ini dan berapakah peruntukan dalam Belanjawan 2022 ini untuk membelanjakan bagi projek ini. Dengan itu sekian, terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih, Yang Berhormat Kota Melaka. Seterusnya Yang Berhormat Tebrau.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Butiran 010200 – Dasar dan Operasi. Saya mendapati aduan atau kes-kes yang telah dilaporkan oleh orang awam kepada PDRM daripada segi pengurusan aduan masih tidak efektif. Banyak aduan telah saya terima yang tiada response terhadap laporan polis mereka. Maka orang yang buat laporan kena minta wakil rakyat bertanya status siasatan kes-kes seperti pecah rumah, pinjaman along dan melanggar SOP PKP dan seumpamanya. Kerap kali juga Inspektor Siasatan pun tidak membalas pertanyaan wakil rakyat. Masalah ini paling serius sekiranya kes yang melibatkan penipuan, pecah amanah, jenayah siber dan komersial. Saya menerima banyak aduan yang meminta bantuan daripada saya disebabkan mangsa-mangsa telah diminta oleh pihak PDRM untuk menggunakan laluan perundangan sivil bagi mencari keadilan walaupun kebanyakan kes memang ada unsur jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Perkara ini membuatkan rakyat hilang kepercayaan terhadap PDRM. Saya ingin Yang Berhormat Menteri menyatakan bagaimana pihak PDRM dapat membersihkan imej mereka supaya tindakan yang sewajarnya akan diambil secepat mungkin dan bukan menolak rakyat yang adalah mangsa kepada pesalah. Kebanyakan mangsa tidak mampu menggunakan perkhidmatan peguam untuk mencari penyelesaian. Walaupun bagi mereka yang mampu cuma pampasan sahaja yang boleh mereka tuntut dan itu pun bergantung kepada keupayaan pesalah untuk membayar kalau disabit salah. Soalan saya, adalah bagaimana dengan perbuatan jenayah pesalah? Sekiranya mereka tidak ditangkap, dituduh dan dijatuhkan hukuman, mereka akan bebas serta berleluasa untuk melakukan perbuatan yang sama
Tuan Pengerusi, Butiran 020500 – Penguatkuasaan Maritim. Saya difahamkan kebanyakan kapal serta bot ronda Malaysia begitu usang berusia lebih daripada 40 tahun sehinggakan senang rosak. Kapal usang ini selalu bermasalah. Radio alat komunikasi pun senang rosak hingga tidak boleh berkomunikasi dalam situasi kecemasan. Tuan Pengerusi, adakah ini menyebabkan aktiviti penyeludupan barang dan manusia berleluasa di Malaysia serta nelayan-nelayan negara asing selalu menceroboh perairan kita. Setahu orang ramai, pendatang tanpa izin mendarat di pantai-pantai kita pada waktu malam yang membuatkan negara kita dibanjiri oleh PATI. Adakah ini pun disebabkan bot-bot ronda yang usang atau pemantauan yang kurang atau sebab lain. Perkara ini tidak harus berlaku memandangkan setiap tahun berlaku peningkatan
peruntukan kepada maritim. Saya minta Menteri menjelaskan kaedah dan pendekatan bagi menyelesaikan isu ini. Tuan Pengerusi, bagi Butiran 040100 – Pembanterasan Dadah. Saban hari kita mendengar kes-kes berkaitan pembanterasan dadah di akhbar. Walau bagaimanapun program pembanterasan ini tidak akan berkesudahan sekiranya rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah tidak mencapai matlamat. Apabila lebih ramai penagih diberi khidmat rawatan dan pemulihan, maka semakin kuranglah bilangan yang kembali menagih tetapi hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Walaupun penagih telah menjalani program rawatan pemulihan, namun kebanyakannya didapati masih lagi gagal untuk mengekalkan gaya hidup bebas dadah setelah keluar dari pusat pemulihan. Saya minta Menteri memberi perhatian kepada keberkesanan pusat pemulihan penagihan narkotik serta mengkaji semula kaedah dan pendekatan yang dilaksanakan bagi tujuan penambahbaikan kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti. Butiran yang terakhir Tuan Pengerusi adalah projek Butiran 12000 – Balai-balai dan Pondok Polis (PDRM). Pondok polis adalah di bawah seliaan balai polis yang beroperasi di kawasan penduduk yang padat tetapi banyak pondok polis yang sudah lama tidak beroperasi. Saya ingin Menteri menjawab apa sebabnya. Ini kerana dengan jelasnya pondok polis yang beranggota 24 jam memainkan peranan besar daripada segi pencegahan jenayah di satu-satu kawasan. 15 saat lagi Tuan Pengerusi.
Ya.
Terdapat satu balai di kawasan Parlimen Tebrau yang perlu diberi perhatian iaitu Balai Polis Ulu Tiram yang berusia 44 tahun dan tidak ada tempat parkir yang mencukupi, maka orang ramai yang hendak membuat aduan terpaksa letak kereta di bahu sepanjang jalan. Jadi saya minta Menteri mempertimbangkan adakah masa telah tiba untuk membina balai baharu untuk balai ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Sungai Buloh.
Terima kasih Tuan Pengerusi memberi saya ruang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan. Saya rujuk kepada Butiran 051000 – Membanteras Pemerdagangan Orang (MAPO). MAPO itu ialah rujukan kepada majlis yang berkaitan dengan antipemerdagangan orang. Di sini saya ingin bangkitkan hakikat bahawa daripada Julai tahun ini, Malaysia telah diturunkan ke tier tiga atau tahap ketiga oleh Amerika Syarikat dalam laporan tahunan mereka berkaitan dengan tajuk dalam bahasa Inggeris dengan izin, Trafficking in Persons (TIP) Report. Tier tiga atau tahap tiga ialah tahap yang terendah sekali dan digunakan untuk negara-negara yang di mana masalah pemerdagangan manusia ini ialah masalah serius dan negara yang terlibat itu nampak tidak minat atau tidak dapat bukti negara itu tidak buat apa-apa langkah signifikan untuk mengatasi masalah itu. Inilah gelaran yang sekarang diberi kepada Malaysia di persada dunia. Memang ini bukan satu perkara yang kita boleh banggakan sebaliknya ialah satu perkara yang mencemarkan imej negara dan inilah saya ingin bertanya kepada kerajaan, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memastikan imej Malaysia ini dipulihkan secepat mungkin dan Malaysia dinaikkan balik kepada tahap kedua, tier dua. Konsep pemerdagangan manusia ini juga meliputi aspek buruh paksa dan saya terima kerajaan dalam beberapa hari kita di Dewan ini akan membahas dan mungkin meluluskan pindaan kepada Akta Kerja di mana konsep buruh paksa semua akan dimasukkan dan itu satu langkah yang baik, satu langkah yang progresif. Akan tetapi yang laporan ini yang saya hendak bawa kepada perhatian kerajaan, yang saya harap pihak kementerian pun akan meneliti setiap ayat di dalam laporan ini yang berkaitan dengan Malaysia.
Pada muka surat 373. Inilah ayat yang sangat membimbangkan dan dengan izin, boleh saya baca ayat itu dalam bahasa Inggeris. Laporan ini mengesahkan ada official complicity continues to undermine anti-trafficking efforts. Maksudnya apa? Official complicity maksudnya ada unsur-unsur di dalam kerajaan yang terbabit dalam hal pemerdagangan ini. Inilah satu tuduhan yang sangat serius. Ini perlu ditangani secara serius dan saya minta kerajaan menjelaskanlah apakah yang akan dibuat daripada segi jangka masa pendek, tengah dan jangka masa panjang. Seterusnya Tuan Pengerusi Butiran 050400. Ada satu program tajuknya Head to Toe dan RM255 juta diperuntukkan. Saya hendak tahu apakah program Head to Toe ini sebab tidak ada apa-apa penjelasan di sana. Seterusnya adalah 030200 – Hal Ehwal Imigresen. Ini berkaitan dengan peranan imigresen atas kawalan dan pengurusan jumlah pekerja asing di Malaysia. Ramai tokoh- tokoh perniagaan yang besar contoh Datuk Wira Ameer Ali Mydin, pemilik Mydin Hypermarket, Chairman (Pengerusi) Federation of Malaysian Manufactures, Tan Sri Soh Thian Lai. Semua sudah keluarkan statement mengkritik kerajaan atas kegagalan kerajaan ini menangani isu kekurangan teruk sekarang dengan jumlah pekerja asing untuk ekonomi kita. Datuk Wira Ameer sebagai contoh dia kata harga barang sekarang yang naik besar. Punca dia memang kita menerima harga komoditi di global, betul. Akan tetapi pada masa yang sama satu perkara yang menyumbang besar kepada harga barang yang naik ini ialah kekurangan pekerja asing. Ini adalah satu masalah besar untuk meningkatkan produksi makanan dan sebagainya. Jadi apakah kerajaan hendak buat? Jawapan daripada Kementerian Sumber Manusia ialah kita hendak gunakan tenaga tempatan. Akan tetapi tokoh perniagaan ini macam dua nama yang saya sebut, mereka kata ia sudah gagal. Bila gagal kerajaan yang bertanggungjawab akan ambil fikiran dan buat analisa dan kemukakan cadangan atau pendekatan lain. Jadi saya hendak tanya kepada kerajaan sebab masa saya sudah habis, adakah kerajaan mesti bertindak menyelesaikan masalah ini khususnya harga barang, harga makanan yang sudah naik. Jadi apakah tindakan yang akan dibuat untuk selesai masalah kekurangan pekerja asing ini secara cepat? Apakah rancangan secara jangka masa pendek dalam satu bulan ini, dua bulan, tiga bulan ini? Apakah rancangan untuk jangka masa tengah? Kita tahu long term dengan izin, kita mahu kawal dan control dan kurang bergantungan negara kita atas pekerja asing. Itu kita terima. Akan tetapi apakah rancangan daripada kerajaan? Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Buloh. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Setiu.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya pergi kepada Butiran 040200 – Kepenjaraan dan Koreksional. Saya meneliti kenyataan Yang Berhormat Menteri bahawa PDRM akan menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT). Saya kira ini satu usaha yang sangat wajar bagi meneliti dan menyelesaikan masalah kematian di kalangan tahanan, sekali gus sebagai usaha meningkatkan integriti pegawai polis. Namun begitu, kenyataan tersebut ada menyatakan unit tersebut akan menyiasat kes-kes bermula Januari 2022. Oleh itu, apakah status bagi kes-kes kematian orang tahanan sebelum unit ini ditubuhkan? Adakah setelah unit ini ditubuhkan, kes-kes terdahulu juga akan diambil kira? Tuan Pengerusi, butiran seterusnya merujuk 020100 – Kepolisan. Umum mengetahui antara fungsi PDRM adalah menerima aduan siasatan kemalangan jalan raya, aduan siasatan jenayah komersial dan siasatan jenayah indeks. Oleh itu, sehingga kini berapakah statistik perbandingan aduan-aduan yang telah diterima ketika PKP? Setelah PKP tamat apakah bentuk jenayah yang paling tinggi diterima.
Seterusnya Butiran 030200 – Hal Ehwal Imigresen. Pendaftaran pasport bagi rakyat ke luar negara maksimum lima tahun. Tempoh yang lama ini menyebabkan rakyat terpaksa membayar pasport dalam kos yang tinggi. Adakah pihak kementerian ada bercadang untuk menurunkan semula tempoh sah laku pasport tersebut bagi mengurangkan kos untuk mendapatkan pasport. Tuan Pengerusi, seterusnya Butiran 030100 – Pendaftaran Negara. Saya meneliti kenyataan Yang Berhormat Menteri sebelum ini yang menyatakan bahawa prosedur operasi standard (SOP) berhubung taraf kewarganegaraan sudah ditambah baik dengan pemohon tidak perlu menunggu terlalu lama berbanding sebelum ini. Namun begitu, saya mendapati bahawa banyak aduan bahawa proses bagi menunggu keputusan sama ada mendapat kelulusan atau sebaliknya, jelas sekali mengambil masa yang lama malah sesetengah kes mengambil masa sehingga dua tahun. Oleh itu, apakah langkah proaktif kerajaan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera mungkin. Perkara seterusnya pada butiran yang sama berkenaan isu denda yang dikenakan bagi mana-mana individu yang kehilangan kad pengenalan melebihi tiga tahun. Denda yang dikenakan mencecah RM1,000. Ia satu nilai yang amat membebankan rakyat terutama sekali penduduk luar bandar, sekali gus menyebabkan mereka memilih untuk tidak memperbaharui kad pengenalan mereka. Justeru, adakah pihak kementerian bercadang untuk menilai semula denda yang dikenakan bagi meringankan beban penduduk luar bandar khususnya di kalangan B40. Tuan Pengerusi, Butiran 08500 – Perumahan (PDRM). Kuarters yang tidak berpenghuni dan terbiar berkemungkinan menjadi sarang penagih dadah. Jika kita teliti perkara ini boleh dikatakan bahawa pembangunan kuarters ini tidak seiring dengan keperluan semasa kerana kalau ia mengikut keperluan semasa, pasti tidak ada kuarters yang dibiarkan rosak dan terbengkalai tanpa sebarang usaha untuk memulihkan kembali kerosakan-kerosakan yang berlaku pada struktur rumah kuarters tersebut. Oleh itu, saya ingin bertanya berapa peratuskah daripada keseluruhan rumah kuarters polis di seluruh negara rosak dan dibiarkan tidak berpenghuni ini? Selain itu, berapa jumlah peruntukan tahunan yang dikhususkan untuk pemulihan dan pembangunan rumah kuarters polis setiap tahun bagi setiap negeri? Mohon penjelasan kementerian. Di bawah Butiran ini juga saya mohon agar satu gelanggang futsal dibina di kawasan perumahan IPD Setiu untuk membolehkan anggota dan keluarga beriadah. Butiran terakhir Butiran 12000 – Balai-balai dan Pondok Polis (PDRM). Saya ingin bertanyakan status bina baharu pondok polis Alor Lek yang saya sudah acap bangkitkan dalam sidang sebelum ini. Tanah yang sudah dirizabkan untuk pembinaan seluas dua ekar. Ia menjadi keperluan kerana balai polis yang terdekat ialah berjarak 20 kilometer lebih iaitu Balai Polis Sungai Tong dang Balai Polis Telemong. Ia dapat mengatasi isu jenayah sekitar empat kampung berdekatan iaitu Kampung Bukit Mundok, Kampung Bukit Aman, Sungai Las dan Kampung Bukit. Dalam butiran ini juga saya ingin bertanyakan tentang naik taraf Pondok Polis Jabi dan naik taraf Pondok Polis Merang. Saya dimaklumkan kelulusan naik taraf ini berkait dengan gred IPD daerah yang belum mencapai gred A kerana ia melibatkan pertambahan anggota kalau dinaik taraf pondok polis kepada balai polis. Saranan saya, sekiranya tidak dapat dipertimbangkan penaik tarafan ini, saya mencadangkan dan saya mohon agar bangunan pondok polis di dua-dua tempat ini dibina baharu bagi menggantikan bangunan yang sudah lama dan uzur. Sekian Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Setiu. Pembahas terakhir, Yang Berhormat Parit Buntar, tetapi saya akan ada tambahan dua, Yang Berhormat Padang Serai empat minit dan Yang Berhormat Puchong tiga minit. Dipersilakan Yang Berhormat Parit Buntar.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi. Saya terus masuk kepada Butiran 040200 – Kepenjaraan dan Koreksional. Kita faham bahawa dalam negara kita, kita menggunakan piawaian Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu dalam konteks pemenjaraan. Namun demikian, satu idea untuk memastikan supaya penjara semata-mata tidak akan selesaikan masalah jenayah seperti mana yang terbukti di dalam statistik bahawa kita punya satu kes ulangan ataupun dipanggil recidivist case di mana para penjenayah kembali semula masuk ke penjara dibandingkan dengan penjenayah yang baharu. Hampir secara relatifnya 50 peratus mereka yang kembali merupakan banduan yang berulang. Maka sudah tiba masanya satu pendekatan yang akan melihat perkara tersebut secara holistik di mana saya dimaklumkan ada program yang disebut sebagai rawatan berasaskan komuniti. Saya mahu bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, sejauh manakah program ini yang juga digabungkan dengan peningkatan peribadi para penjenayah ini iaitu melalui apa yang dikatakan KASIH (Knowledge, Attitude, Skill, Intelligence and Humanity), sejauh manakah kita berjaya dalam menangani masalah banduan yang berulang ini? Seterusnya saya juga ingin sentuh tentang kes-kes yang melibatkan masalah mental yang mana kalau mengikut statistik juga, kadar kemasukan banduan yang tinggi jika dibandingkan dengan nisbah kakitangan pengamal perkhidmatan kesihatan kaunseling dan kesihatan mental menjadi satu masalah besar kepada pihak penjara. Jadi mohon cara bagaimana kita mengatasi masalah itu? Saya juga ingin mengambil isu ini sebagai satu yang penting seperti yang disuarakan oleh rakan Yang Berhormat Subang bahawa kita telah diturunkan tahap pembanterasan pemerdagangan ini sebagai third tier dan ini sangat menyedihkan dan kita tahu bahawa kemungkinan besar pelbagai masalah yang kita hadapi gagal menangani isu pemerdagangan orang ini adalah juga mungkin isu-isu rasuah, isu-isu mungkin Malaysia juga dianggap transit untuk kemudian dipasarkan pemerdagangan orang ini di luar negara. Bagi saya ini satu kegagalan di mana pada satu tahap kita telah berjaya meletakkan Malaysia di tier kedua dan kita mahu kekalkan kedudukan tersebut kerana ini akan memberikan kesan kedudukan Malaysia di mata antarabangsa. Seterusnya saya ingin masuk kepada isu 020200 – Kesukarelawan yang melibatkan anggota RELA. Saya mohon kepada pihak Yang Berhormat Menteri agar memberikan elaun yang lebih tinggi daripada kadar yang mereka dapat sejam ini.
Saya difahamkan pendapatan mereka sejam adalah hanya RM7.80. Pada masa Kerajaan Pakatan Harapan, kita telah berusaha memastikan ditingkatkan kepada RM9.80. Akan tetapi ada isu-isu yang kemudian kerajaan tidak dapat teruskan dengan penggantian kerajaan baharu. Maka, saya harap perkara ini terus diberi perhatian. Oleh sebab saya ingin merakamkan bagi pihak RELA yang telah bertugas di seluruh negara, tidak kira siang dan malam sebagai frontliner menjaga sekatan-sekatan jalan raya bersama dengan PDRM perlu diberi penghargaan untuk kita naikkan elaun mereka supaya mereka dapat merasakan mereka ini dihargai. Akhirnya, saya hendak sentuh tentang kawalan sempadan. Mohon pihak kementerian ambil berat kenyataan yang dibuat oleh Menteri sendiri bahawa didapati kita mendapat kerugian daripada penceroboh nelayan-nelayan haram ini. Di mana melibatkan 8,000 buah bot warga asing Vietnam masuk ke sempadan kita. Kerugian yang kita taksirkan ialah RM4 bilion hasil dari laut negara diambil oleh mereka yang datang menceroboh perairan kita. Dikatakan yang dapat kita tahan daripada 8,000 itu hanya 64 buah bot sahaja. Ini menggambarkan satu kelesuan daripada pihak maritim yang mana saya difahamkan menurut Laporan PAC, hampir 75 peratus peralatan pertahanan kita dikategorikan sebagai lapuk. Apakah ini juga antara sebab kenapa kita gagal untuk mengawal sempadan kita? Mohon penjelasan. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Parit Buntar. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Padang Serai empat minit.
Terima kasih Tuan Pengerusi yang budiman, memberi peluang Padang Serai bahas. Butiran 020100 – Kepolisan. Saya selalu mendapat laporan tentang kebajikan polis yang diabaikan oleh pihak kerajaan. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM8.5 bilion untuk Butiran 020100 - Kepolisian. Jika diteliti, tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan tahun 2021. Saya dapati gaji yang diperoleh oleh polis adalah rendah jika dibandingkan dengan tugas yang perlu dilaksanakan. Kita mesti faham, kerja sebagai anggota polis amat berat. Dalam memastikan kita tidur lena, mereka terpaksa jaga untuk melindungi kita. Maka, saya ingin mencadangkan agar kementerian mampu menjalankan satu kajian dalam mengkaji balik jumlah gaji yang bersesuaian dengan kos sara hidup sekarang, termasuk dengan tugas yang perlu dilaksanakan oleh mereka. Ini amat penting dalam memastikan tiada kumpulan yang tidak bertanggungjawab menggunakan kesempitan hidup ini untuk rasuah anggota polis. Butiran 990100 – Penyelenggaraan Bangunan. Di bawah Butiran 990100 – Penyelenggaraan Bangunan, kerajaan telah memperuntukkan kos untuk tahun 2022 jika berbanding dengan tahun 2021 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM38.3 juta. Menjadikan persoalan, mengapakah tiada peruntukan untuk tahun 2022? Selain itu, saya juga ingin menyuarakan mengenai Balai Polis Padang Serai yang perlu dinaik taraf. Jumlah penduduk sudah meningkat kepada 75,000 orang. Ini menyebabkan perlu ada peningkatan anggota dan menambahbaikkan bangunan sedia ada. Tuan Pengerusi, Butiran 040100 – Pembanterasan Dadah. Ramai tidak tahu, minuman keras jadi judi. Saya rasa, dadah lebih bahaya. Kerajaan harus mengambil serius dalam hal dadah yang melibatkan golongan remaja. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM368.7 juta bagi Butiran 040100 – Pembanterasan Dadah. Ini satu perkara yang saya sokong. Saya ingin bangkitkan isu yang berlaku di Padang Serai, di mana aktiviti dadah semakin berleluasa. Kecurian pun kerap kali berlaku. Apa yang merisaukan ialah aktiviti dipelopori golongan belia bukan hanya sebagai pengguna, malah sebagai pengedar. Saya mohon kerajaan jelaskan, bagaimanakah langkah kerajaan dalam menyelesaikan isu berkaitan dadah ini? Butiran 030100 – Pendaftaran Negara. Isu kerakyatan amat dekat di hati saya. Kerajaan telah memperuntukkan RM363.9 juta kepada Butiran 030100 - Pendaftaran Negara. Saya ingin mohon perhatian daripada kerajaan mengenai kerakyatan di negara Malaysia. Berdasarkan data tahun 2018, seramai 300,000 orang masyarakat India tidak mempunyai kad pengenalan. Ini mewakili 13.6 peratus masyarakat India secara keseluruhannya. Ini bukan perkara baharu tetapi sudah berlaku sejak kemerdekaan lagi. Masalah ini masih tidak dapat diselesaikan. Kita kena faham, kerakyatan ini penting dalam memastikan peluang pendidikan mereka dapat diperolehi. Di samping itu, 300,000 orang ialah jumlah pekerja yang tidak diiktiraf dalam pasaran buruh. Jika kerakyatan ini selesai, maka mereka boleh terlibat dalam pasaran buruh. Akhirnya akan meningkatkan jumlah sumber manusia dalam negara kita. Kita kena faham, mereka ini ialah rakyat Malaysia. Akan tetapi disebabkan kesedaran mengenai perkara ini kurang dan faktor kemampuan juga telah mempengaruhi kenapa mereka tidak mempunyai kerakyatannya.
Masa sudah cukup.
Sedikit lagi. Tuan Pengerusi, perkara lain yang ingin dibangkitkan adalah apabila isteri bukan warganegara dan suami ialah warganegara di Malaysia. Jika ini berlaku, menyebabkan anak itu tidak boleh memohon kerakyatan. Saya ingin pihak kerajaan untuk fikir dan kaji tentang kesan jangka panjang mengenai perkara ini. Saya juga ingin menambah, kerajaan perlu keluarkan SOP yang jelas dalam proses penangkapan oleh pihak polis, disebabkan telah berlaku
beberapa kematian. Rakyat di luar sana tanya mengenai perkara ini. Mohon kerajaan jelaskan mengenai perkara ini. Terakhir, saya mohon kementerian memberi elaun khas kepada NGO yang mewakili untuk memberi kata nasihat iaitu kaunseling kepada pasangan suami isteri yang mohon penceraian di JPN. Mereka ini dilantik tetapi tidak diberi apa-apa elaun. Saya berharap kementerian akan beri elaun setiap kali hadir untuk urusan tersebut. Terima kasih Tuan Pengerusi. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Puchong, tiga minit.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Tuan Pengerusi, saya buat rujukan kepada Butiran 21000 – Senjata Api dan Peluru (PDRM) dan Butiran 22000 – Kenderaan (PDRM). Tuan Pengerusi, saya hendak tanya soalan spesifik berkaitan dengan apa yang disebut sebagai pihak-pihak Perdana Menteri yang lepas yang mendapat kawalan daripada PDRM walaupun mereka telah pun disabitkan dengan sabitan jenayah di mahkamah. Saya hendak tahu, sebenarnya berapakah kenderaan yang dipakai dan anggota yang digunakan untuk tujuan keselamatan kononnya mereka tersebut? Juga apakah kos yang terlibat? Perkara yang penting sekali Tuan Pengerusi, apabila mereka telah pun disabitkan, sama ada akan diteruskan ataupun tidak dengan kita mengeluarkan perbelanjaan-perbelanjaan tersebut. Itu pertama. Kedua Tuan Pengerusi, berkaitan dengan apa yang disebut sebagai pengumuman bahawa agensi yang tertentu akan diwujudkan buat tujuan menyiasat kes- kes kematian dalam tahanan. Ini Tuan Pengerusi di bawah Butiran 12000 – Balai-balai dan Pondok Polis (PDRM). Baru-baru ini ada pengumuman dibuat. Saya hendak tahu Tuan Pengerusi, bagaimana apa yang dicadangkan ini boleh memastikan bahawa ada kebebasan? Ini kerana kita tidak mahu agensi yang wujud di dalam PDRM, yang dianggotai anggota-anggota PDRM, yang harus siasat anggota-anggota PDRM apabila berlaku kes-kes kecederaan dan juga kematian di dalam lokap. Memang tidak ada apa yang disebutkan sebagai perpisahan kuasa, pengasingan kuasa, di mana kalau seseorang anggota atau sesuatu jabatan tersebut terlibat, maka wakil-wakil daripada jabatan tersebut yang akan siasat. Saya hendak tahu, bagaimanakah agensi yang baharu ini dapat mengatasi masalah ini? Kenapa tidak ada sebarang cadangan supaya kita dapat melihat wujudnya sebenarnya sebuah jabatan atau agensi yang dianggotai oleh mereka yang bebas untuk membuat siasatan buat tujuan tersebut?
Juga seperti mana disebut oleh sahabat saya di awal tadi Yang Berhormat Kuala Krai kalau tidak silap Tuan Pengerusi, soal berbangkit dengan apakah yang berlaku pada kes-kes yang lalu. Bila kita ada agensi baharu, siapa akan siasat? Apakah ini bermaksud bahawa kita akan mulakan siasatan semula? Bagaimana proses itu akan dilaksanakan? Saya hendak tahu. Akhir sekali Tuan Pengerusi, saya merujuk kepada Butiran 35000 dan 37000. Tuan Pengerusi, baru-baru ini ada pendedahan dibuat oleh Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri di mana disebut bahawa wujudnya satu kartel di dalam Jabatan Imigresen dan perkara ini dalam siasatan pihak KDN. Saya ingin bertanya, apakah tahap siasatan itu. Apakah jenis masalah yang dihadapi dengan wujudnya kartel ini? Apakah tindakan yang akan diambil? Sekali lagi, saya rujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh SPRM dua hari lalu oleh Tan Sri Azam Baki di mana dia menyatakan bahawa SPRM tidak menerima sebarang laporan sehingga sekarang berkenaan dengan masalah ini. Soalannya, apakah yang berlaku? Adakah kita melihat sekali lagi satu internal investigation di mana tindakan akan
diambil secara dalaman, kemudian perkara ini dilesapkan atau disenyapkan. Kita juga hendak tahu apakah yang berlaku kepada aduan-aduan yang dibuat sebelum dari ini Tuan Pengerusi berkaitan dengan wujudnya masalah yang sama bukan sahaja di imigresen tetapi juga di PDRM yang saya telah pun bangkitkan berkali-kali sebelum daripada ini. Tuan Pengerusi, saya ucapkan terima kasih kerana memberikan saya peluang untuk turut berbahas dalam perkara ini. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Puchong. Ahli-ahli Yang Berhormat, seramai 21 orang Ahli Yang Berhormat telah berbahas di peringkat Jawatankuasa. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri atau timbalannya untuk menjawab.
Terima kasih Tuan Pengerusi.
20 minit ya.
Ya, terima kasih. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seramai 21 orang Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat Jawatankuasa. Saya ucap terima kasih dan tahniah kerana boleh katakan kesemua 21 orang yang telah berbahas di peringkat Jawatankuasa mementingkan supaya kebajikan anggota dan pegawai di semua agensi di bawah KDN ini mestilah diambil peduli oleh Kementerian Dalam Negeri terutama sekali tentang PDRM mengenai IPK, IPD, balai polis, pondok polis, pos kawalan PGA, tangga gaji, elaun dan lain-lain lagi dan termasuk agensi- agensi yang lain. Untuk pengetahuan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bahawa kalau kita lihat kepada beberapa Ahli Yang Berhormat yang berucap iaitu Yang Berhormat Baling, Yang Berhormat Jempol, Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Kuala Langat dan Yang Berhormat Kota Melaka menimbulkan tentang pembaikan premis dan fasiliti PDRM yang uzur yang memerlukan pembaikan segera bagi menjaga kebajikan anggota dan memberikan perkhidmatan yang terbaik. Tuan Pengerusi, kerajaan amat prihatin dan komited untuk menyediakan, menaik taraf dan menggantikan premis dan fasiliti yang uzur dan daif bagi memastikan PDRM dapat menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, peruntukan keseluruhan sebanyak RM448.37 juta telah diluluskan melalui perbelanjaan pembangunan bagi kerja-kerja pembaikan premis PDRM. Manakala di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12, peruntukan keseluruhan sebanyak RM59.09 juta telah diluluskan melalui perbelanjaan pembangunan bagi kerja-kerja pembaikan premis PDRM. Bagi RP2 Rancangan Malaysia Ke-12 tahun 2022, PDRM telah diberikan peruntukan sejumlah RM2.07 bilion yang meliputi RM369 juta untuk projek fizikal dan RM1.7 bilion untuk projek bukan fizikal. Daripada peruntukan tersebut, sebanyak 29 projek baharu bernilai RM329.3 juta dan 72 projek sambungan berjumlah RM1.74 bilion. Antara projek fizikal baharu yang diluluskan adalah: (i) pembinaan IPD Belaga; (ii) pembinaan 18 buah pos PGA Selangor; (iii) markas operasi pasukan polis marin Muar; (iv) pembinaan balai polis dan kuarters Kuala Penyu, Beaufort; (v) pembinaan 10 unit kuarters Pulau Redang; (vi) pembinaan pondok polis Kampung Ting Ting; dan (vii) perolehan tanah bagi pembinaan IPK Kelantan dan juga Perak.
Kementerian juga prihatin terhadap kebajikan anggota PDRM yang memerlukan kediaman yang selesa. Sehubungan dengan itu, kementerian dalam perancangan dalam membina 2,000 unit kuarters di Lembah Klang di bawah projek penswastaan. Yang Berhormat Baling, ada dalam Dewan tak?
Ada.
Tahniah Yang Berhormat Baling, peruntukan untuk Yang Berhormat Baling bagi tahun 2019/2020 dan melalui peruntukan DE 2019, DE tahun 2020, Prihatin 2020, banyak telah diluluskan. Rumusannya untuk pengetahuan Yang Berhormat Baling, belanja pembangunan DE 2019 sebanyak RM450,000, belanja pembangunan DE 2020 sebanyak RM40,000, Prihatin 2020 sebanyak RM182,000 berjumlah RM672,000. Tahniah dan terima kasih Yang Berhormat Baling kerana prihatin terhadap kebajikan PDRM di kawasan IPD Baling.
Satu minit saja, satu minit. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya amat menghargai. Yang saya sentuh tadi ini, Baling satu bab, untuk keseluruhan anggota dan pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia demi kita hendak memuliakan mereka sementara kita sedang melaksanakan Keluarga Malaysia. Apakah yang saya sebutkan tadi, rumah-rumah iaitu kuarters-kuarters kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan lain- lain agensi kerajaan yang terbengkalai yang tidak digunakan. Saya minta Yang Berhormat ambilkan— saya syorkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara jadi mata dan telinga memaklumkan kepada Yang Berhormat dan kementerian bahawa kami ada kawasan ini yang ada kekosongan untuk diberikan peluang tersebut kepada Polis Diraja Malaysia secara segera memandangkan kita ada kekangan kewangan akibat COVID-19 ini. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Baling. Satu pandangan yang baik dan kita akan bincangkan secara detailed di peringkat Kementerian Dalam Negeri. Terima kasih Yang Berhormat Baling. Soalan seterusnya yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Baling terhadap status siasatan kes suami Zeti Akhtar Aziz. Tuan Pengerusi, siasatan telah dijalankan oleh pihak PDRM dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 Oktober 2021 dan Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk menjalankan beberapa tindakan dan siasatan lanjut.
Terima kasih banyak-banyak Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih. Manakala Yang Berhormat Jempol juga membangkitkan isu-isu terhadap kemudahan dan juga kebajikan anggota polis di kawasan Jempol, IPD Jempol, ada ya? Terima kasih. Seperti mana yang telah saya sebut tadi, kita akan menyediakan peruntukan yang secukupnya. Untuk makluman Yang Berhormat, tentang naik taraf perjawatan PDRM di peringkat daerah, Kementerian Dalam Negeri sedang melaksanakan kajian pengoptimuman perjawatan Polis Diraja Malaysia yang melibatkan semua peringkat iaitu Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen daerah hingga balai polis di seluruh negara. Menerusi kajian ini, gred perjawatan dan jumlah perjawatan ideal bagi semua peringkat akan dikenal pasti bagi memastikan gred ketua polis adalah berdasarkan kompleksiti semasa dan tidak berlaku masalah kekurangan perjawatan yang boleh mengganggu keberkesanan operasi PDRM. Kajian ini dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka akan selesai pada tahun 2025. Berkaitan kenaikan gaji anggota PDRM. Kementerian sentiasa memberi perhatian berkaitan perkara ini. Kajian semakan semula gaji sentiasa dilaksanakan berdasarkan prioriti dengan skim perkhidmatan anggota penguat kuasa yang lain.
Sedikit Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih. Ya, sila.
Mengenai jawatan yang saya sebutkan tadi. Ada perjawatan ini tidak dikaji sekian lama. Jadi, kalau ditunggu keputusan ini adalah tahun 2025 tentang apa yang dimaksudkan tadi. Sedangkan kawasan yang kepadatan penduduk, contohnya yang saya sebutkan tadi ini dalam Negeri Sembilan ini, ACP hanyalah berlaku di Seremban sahaja. Manakala Nilai yang begitu besar kepadatan penduduk sehingga hari ini pun masih lagi Superintenden. Juga di Rembau masih pangkat bawah Superintenden – di bawah DSP. Jadi, ini menunjukkan jurang antara ini – Mungkin daripada segi kenaikan pangkat ini mereka menunggu terlalu lama walaupun mereka layak. Jadi, apakah tindakan kementerian untuk pemangkuan perjawatan itu dimulakan untuk tahun hadapan.
Terima kasih Yang Berhormat Jempol.
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Oleh sebab itu saya sebut tadi, untuk kita merealisasikan semua kenaikan taraf IPD di seluruh negara – Ini kerana, sekarang ini IPD ada gred ‘A’, gred ‘B’ dan gred ‘C’. Gred ‘A’ yang diketuai oleh ACP, gred ‘B’ diketuai oleh Superintenden dan gred ‘D’ diketuai oleh DSP. Oleh sebab itu, kajian menyeluruh kita adakan di seluruh negara bagi kita mengharmonikan semua perjawatan dan juga gred perjawatan di peringkat semua IPD di dalam negara kita. Yang Berhormat Jempol, boleh kita berbincang secara detailed-nya Yang Berhormat ya. Terima kasih.
Yang Berhormat Timbalan Menteri, Batu Gajah.
Ya? Sila.
Yang Berhormat Menteri. Pada masa yang sama, saya memohon juga supaya gaji kakitangan Jabatan Penjara Malaysia juga perlu dipertimbangkan. Saya pernah bawa isu ini di dalam perbahasan peringkat Dasar tetapi saya tidak berbahas di peringkat Jawatankuasa. Jadi, saya memohon sekali lagilah supaya gaji semua anggota Jabatan Penjara Malaysia dikaji semula dan diselaraskan. Begitu juga daripada segi perjawatan mereka kalau kita bandingkan dengan PDRM. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Ya. Saya mengambil maklum terhadap cadangan yang Yang Berhormat Batu Gajah. Memang seperti mana yang saya sebutkan tadi, kajian menyeluruh untuk semua pegawai dan anggota di bawah agensi KDN akan kita buat kajian yang menyeluruh. Yang Berhormat Beruas ada?
Tidak ada.
Benarkan saya menjawab secara jawapan bertulis. Yang Berhormat Batu?
Pun tidak ada. Maaf, ada.
Yang Berhormat Batu telah bertanya mengenai apakah sebabnya berlaku peruntukan menurun ataupun penurunan peruntukan di kebanyakan agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Terima kasih Yang Berhormat Batu kerana prihatin terhadap peruntukan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Tuan Pengerusi, secara prinsipnya penyediaan peruntukan perbelanjaan mengurus (OE) adalah bergantung pada hasil kerajaan. Proses penyediaan dijalankan dengan teliti melalui beberapa sesi semakan bagi memastikan penggunaan peruntukan yang optimum. Berdasarkan analisis Belanjawan 2022 yang diperuntukkan kepada Kementerian Dalam Negeri didapati bahawa penurunan (OE) 2022 KDN adalah ekoran daripada keputusan kerajaan untuk melaksanakan pengelasan semula beberapa item (OE) kepada perbelanjaan pembangunan iaitu (DE). Antara contohnya PDRMnet sebanyak RM174 juta. Kalau kita tengok dalam (OE) itu memang kosong tetapi kita letakkan di bawah DE.
Kedua, sewaan kenderaan sebanyak RM194 juta. Ketiga, penyelenggaraan bangunan sebanyak RM42 juta. Seterusnya, Yang Berhormat Batu dan juga Yang Berhormat Kalabakan membangkitkan isu kos penyewaan penjara satelit yang tinggi juga sumber peruntukan pengoperasian penjara satelit bagi tahun 2021. Tuan Pengerusi, jumlah penjara satelit yang diwartakan telah beroperasi adalah sebanyak 10 buah yang boleh menampung kapasiti seramai 4,650 orang banduan. Bagi tahun 2021, kos pengoperasian telah ditampung melalui penjajaran daripada peruntukan sedia ada kementerian. Ia melibatkan bayaran perkhidmatan penamatan banduan di PLKN yang meliputi kos makan minum, tempat tinggal, keperluan asas, utiliti dan penyelenggaraan, sewaan kenderaan bahan api, elaun anggota RELA dan juga penyediaan PPE. Di samping itu, juga pengusaha PLKN dikehendaki mengubah suai dan menaik taraf PLKN tersebut bagi memastikan ia menepati spesifikasi keselamatan penjara. Untuk makluman, satu kem masih dalam proses rundingan dengan pihak kerajaan. Manakala, dua lagi telah menarik diri kerana tidak bersetuju dengan kos yang ditawarkan. Yang Berhormat Batu juga telah menimbulkan isu tentang PDRMnet pada tahun 2021 diberikan peruntukan sebanyak RM200 juta. Namun begitu, tiada peruntukan bagi PDRMnet bagi tahun 2022. Bagi tahun 2021, peruntukan PDRMnet berjumlah RM200 juta disediakan di bawah peruntukan belanja mengurus (OE), manakala bagi tahun 2022 peruntukan tersebut telah disediakan di bawah peruntukan pembangunan seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini. Yang Berhormat Batu juga telah membangkitkan isu, adakah pemotongan peruntukan yang besar daripada RM104.2 juta pada tahun 2021 kepada hanya RM56 juta pada tahun 2022 memberi kesan kepada operasi AADK. Tuan Pengerusi, pemotongan belanjawan di bawah peruntukan P.62 Butiran 020000 tidak menjejaskan operasi AADK dalam mencegah, merawat, memulih serta menguatkuasakan masalah penagihan dadah dalam negara ini. Dimaklumkan bahawa AADK telah diberi peruntukan sebanyak RM104.2 juta pada tahun 2021 di bawah peruntukan pembangunan untuk melaksanakan 11 buah projek. Manakala bagi tahun 2022, AADK hanya memerlukan peruntukan sebanyak RM56.2 juta untuk meneruskan projek tersebut pada tahun 2022...
Yang Berhormat Menteri, Beruas ada.
Bagi melaksanakan program pencegahan, rawatan dan penguatkuasaan ia akan dibiayai di bawah peruntukan mengurus.
Yang Berhormat Menteri, Beruas ada.
Ya. Saya jawab yang lain dahulu ya.
Thank you. Terima kasih.
Yang Berhormat Libaran juga membangkitkan isu dan juga mencadangkan untuk membina sebuah pondok polis di Pulau Nunuyan dan menaik taraf pondok bit di Pulau Libaran...
Tuan Pengerusi, mohon mencelah – Batu. Tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri kata menggunakan peruntukan RM104 juta kalau tidak silap saya untuk tahun 2021. Saya rasa tahun 2021 ini adalah sepenuhnya musim COVID- 19 apabila lockdown. Bolehkah Yang Berhormat Menteri bagi saya jawapan bertulis kalau boleh, apakah program-program yang dianjurkan oleh AADK dengan peruntukan RM100 juta lebih itu?
Terima kasih atas kerjasama Yang Berhormat. Kita akan bekalkan secara bertulis. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Libaran, Pulau Nunuyan atau Pulau Libaran, Sabah terletak di bawah bidang kuasa pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan. Manakala, balai polis yang terhampir dengan pulau ini adalah Balai Polis Sandakan. Pada masa ini, belum ada pondok polis diwujudkan di Pulau Nunuyan dan Pulau Libaran. Namun begitu, terdapat...
Yang Berhormat Libaran tidak ada dalam Dewan.
...Sebuah pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pulau Libaran.
Yang Berhormat Libaran tidak ada dalam Dewan ya.
Tidak ada dalam Dewan? Jawapan bertulis ya.
Bertulis.
Terima kasih. Yang Berhormat Tumpat ada?
Tidak ada.
Tidak ada. Jawapan bertulis, mohon izin. Banyak isu Yang Berhormat Tumpat. Yang Berhormat Batu dan juga Yang Berhormat Kalabakan juga menimbulkan kos sewaan bagi penjara satelit yang tinggi. Sumber peruntukan pengoperasian penjara satelit bagi tahun 2021. Saya ingat ini saya sudah jawab tadi.
Yang Berhormat Timbalan Menteri sudah jawab.
Ya, ya.
Sudah, sudah.
All right. Yang Berhormat Kalabakan ada?
Ada.
Isu pengusiran PATI warga Filipina di depot imigresen Sabah. Bagaimanakah kerjasama dengan Filipina untuk tujuan pengusiran dan bilangan PATI warganegara Filipina dalam depot imigresen di Sabah? Tuan Pengerusi, terima kasih kepada Yang Berhormat atas soalan yang dikemukakan.
Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah tahanan warga Filipina di depot imigresen di Sabah adalah seperti berikut iaitu kapasiti empat depot Imigresen di Sabah adalah sejumlah 7,600 orang. Jumlah pengisian sekarang adalah 6,295 orang. Tahanan PATI Filipina di depot Imigresen di Sabah iaitu 5,526 orang. Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan Kedutaan Filipina untuk dokumentasi pengusiran PATI warga Filipina. Sungguhpun begitu, dalam konteks pandemik COVID- 19, urusan ini telah sedikit terganggu susulan penetapan Perintah Kawalan Pergerakan dan penutupan pintu sempadan oleh Filipina untuk menerima PATI yang diusir. Yang Berhormat Kalabakan juga menimbulkan isu AADK iaitu perjawatan di Sabah khususnya di luar bandar. Kementerian Dalam Negeri sedang melaksanakan kajian pengukuhan perjawatan Agensi Antidadah Kebangsaan yang melibatkan semua peringkat di ibu pejabat negeri dan daerah. Menerusi kajian ini jumlah perjawatan optimum akan dikenal pasti berdasarkan keperluan semasa. Kajian ini dijangka akan dikemukakan kepada agensi pusat pada suku pertama tahun 2022. Yang Berhormat Kuala Krai ada?
Yang Berhormat Kuala Krai tidak ada.
Yang Berhormat Kuala Krai tidak ada. Yang Berhormat Kuala Langat?
Tidak ada.
Yang Berhormat Kuala Langat tidak ada. Yang Berhormat Kota Kinabalu?
Ada, ada, ada. Ada.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Kinabalu. Isu ESSCOM dan adakah KDN akan menambah baik keperluan ESSCOM. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, kerajaan melalui ESSCOM sentiasa komited dan terus meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan aset-aset penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan pengawasan kawalan dan penguatkuasaan serta mewujudkan elemen cegah rintang yang efektif di bawah ESSZONE. Tiga elemen pasukan keselamatan utama yang terlibat iaitu ATM, PDRM dan APMM telah beroperasi secara bersepadu di ESSZONE, bersama aset-aset strategi agensi-agensi masing-masing di ESSZONE dan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada sebilang masa mengikut kawasan tanggungjawab masing-masing. Mohon saya habiskan ini ya? Ayat ini?
Sehingga tamatlah.
Sehingga kini sebanyak 304 aset...
Saya bagi tambah masa sikit. Tambah masa berapa? Lima, 10 minit, lima?
Ayat ini selepas itu saya mohon jawapan bertulis.
Jawapan bertulis.
Kalau tambah masa...
Sebab banyak lagi. Baru lima atau enam daripada 21...
Baik.
Bagilah 20 minit tambahan.
...21 pembahas, baru lima atau enam pembahas yang sempat...
Tuan Pengerusi, mungkin tambah sedikit.
...Saya jawab.
Boleh tambah sikit lagi.
Tambah sedikit kalau boleh.
Boleh saya tambah lima minit lagi selepas itu...
Bagi 20 minit lah kepada Yang Berhormat Menteri...
Terima kasih.
...Kita hendak dapat jawapan.
Bahagian mana yang hendak?
Terima kasih.
Isu Imigresen dan juga isu kawalan polis Yang Berhormat Pekan, itu penting Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Bagi saya tambah tiga minit ya.
Tiga minit.
Tiga minit.
20 minit lah. Kita boleh tunggu.
Sehingga kini sebanyak 304 aset pertahanan dan keselamatan yang sedia untuk beroperasi di ESSZONE yang terdiri daripada 37 buah kapal, dua buah sea basin, 249 buah bot dan 16 buah jet ski. Berhubung dengan penambahan aset bagi mewujudkan kawasan fencing yang menyeluruh di ESSZONE, KDN telah mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk membiayai pembinaan pos kawalan baharu pangkalan laut dan pos operasi hadapan serta perolehan aset strategik berasaskan teknologi terkini untuk tujuan pengesanan dan pemantauan keselamatan di Pantai Timur Sabah. Tiga projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, RP2 iaitu: (i) pembinaan Pos Manalunan Kinabatangan, kos RM5 juta; (ii) membina semula Pos Kuala Maruap Lahad Datu, kos RM5 juta; dan (iii) pembinaan Pos Simanggaris, Kalabakan, kos RM2 juta. Saya ingat...
Yang Berhormat Timbalan Menteri...
Beruas tadi ada...
Timbalan Menteri, soalan saya belum dijawab.
...boleh saya minta penjelasan.
Tadi yang Beruas yang awal tadi...
Yang Berhormat Timbalan Menteri, berkenaan dengan dua isu.
Petaling Jaya.
...Kalau boleh dijawab sekarang. Adakah...
Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Jerai...
...Imigresen tidak membenarkan saya pergi ke Sarawak pun saya hendak dapat jawapan.
...Yang Berhormat Parit Buntar, Yang Berhormat Batu Gajah...
Isu Yang Berhormat Puchong.
Saya ingat yang lain saya jawab bertulis ya.
Beruas, Beruas tadi yang mula-mula itu...
Isu dari Puchong iaitu dua isu berkaitan dengan Tuan Pengerusi...
Saya rasa...
...Imigresen dan siasatan terhadap Imigresen, itu penting.
Ya, saya setuju.
Kemudian berkaitan dengan kawalan polis untuk Yang Berhormat Pekan. Walaupun disabit semalam tetapi kita lihat masih ada kawalan polis. Di situ memang banyak kos yang dikeluarkan. Jadi, soal dia adakah kerajaan akan teruskan? Berapakah kos itu? Berapa banyak pegawai yang digunakan, senjata api dan sebagainya. Butir-butir itu sangat penting kerana di sini tempatnya kita luluskan dana untuk tujuan tersebut Tuan Pengerusi.
Ya, Yang Berhormat Puchong sahabat saya...
Tuan Pengerusi kita boleh menunggu.
Yang Berhormat Timbalan Menteri saya pun ada...
...Bagilah 20 minit lagi, tidak apa.
Yang Berhormat Puchong, saya hendak jawab Yang Berhormat Puchong. Betul, Yang Berhormat Menteri telah sebut ada isu yang melibatkan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen (JIM) dan pihak KDN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang seterusnya dan kita dalam siasatan. Jika ada bukti-bukti yang kukuh sebagaimana pengalaman Yang Berhormat sebagai peguam, kita akan kemukakan kepada pihak yang lebih lanjut. Tentang kawalan kepada Yang Berhormat Pekan, kita tahu Yang Berhormat Pekan masih lagi dalam proses untuk membuat rayuan. Saya percaya juga Yang Berhormat Puchong faham terhadap prosedur ini. Terima kasih. Itu sahaja Yang Berhormat yang saya...
Yang Berhormat Timbalan Menteri...
Tuan Pengerusi kita sudi menunggu...
Yang Berhormat Timbalan Menteri, jawab...
...Jawapan sudah sedia, jawablah. Kita hendak menunggu jawapan.
Sebab Yang Berhormat, giliran Yang Berhormat tadi Yang Berhormat tidak ada dalam Dewan. Saya kata jawapan bertulis.
Jawapan bertulis ya.
Yang Berhormat saya kira itulah sahaja penjelasan-penjelasan yang dapat saya berikan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Mana yang tidak sempat saya jawab saya akan kemukakan jawapan bertulis. Terima kasih Yang Berhormat.
Yang Berhormat Timbalan Menteri saya harap soalan...
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya ialah bahawa wang sejumlah RM13,513,284,200 untuk Kepala B.62 Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2022 jadi sebahagian daripada Jadual hendaklah disetujukan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala B.62 diperintah jadi sebahagian daripada Jadual]
Masalahnya ialah bahawa perbelanjaan di bawah Kepala P.62 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 hendaklah diluluskan.
[Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala P.62 jadi sebahagian daripada Anggaran Perbelanjaan]
Pemakluman. Ahli-ahli Yang Berhormat sebelum saya menangguhkan Mesyuarat, dimaklumkan bahawa ujian RTK Antigen Self-Test Kit Saliva untuk Ahli-ahli Yang Berhormat pada hari Isnin, 13 Disember 2021 akan diadakan di Dewan Serbaguna bukan di Dewan Bankuet. Ini adalah bagi memberi laluan kepada Program Taklimat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang akan diadakan pada hari tersebut di Dewan Bankuet itu. Sekian, terima kasih. [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi Isnin, 13 Disember 2021. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat.
[Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 6.38 petang]
Kamar KhasSpecial Chamber
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Industri EV di MalaysiaSpecial Chamber
Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan Kamar Khas pada 9 Disember 2021, hari ini, ialah ‘Industri EV di Malaysia'. Tuan Yang di-Pertua, industri kenderaan elektrik ataupun yang lebih dikenali sebagai Electronic Vehicle (EV) merupakan industri berpotensi tinggi untuk pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Pada tahun 2020, jualan kereta elektrik di dunia menyaksikan peningkatan sebanyak 41 peratus walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19. Saya menyambut baik usaha kerajaan meluaskan industri EV di Malaysia melalui Belanjawan 2022 iaitu terdapat beberapa insentif untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kereta elektrik antaranya, pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan untuk kenderaan elektrik.
Namun, saya mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan beberapa isu dan cadangan untuk perhatian kerajaan. Pertama tentang pembangunan industri EV tempatan. Sebagai permulaan, saya memohon Menteri merumuskan dasar dan ‘blueprint’ terkini kerajaan mengenai industri EV. Ini kerana, negara- negara jiran seperti Singapura dan Thailand telah mempunyai dasar dan ‘roadmap’ yang jelas. Akan tetapi, di Malaysia, saya dimaklumkan oleh penggiat industri bahawa kita tidak mempunyai dasar yang spesifik untuk industri ini.
Selain itu, pada 20 Oktober 2021, MOSTI telah mengeluarkan siaran media yang menyatakan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasakan industri EV tempatan. Kenyataan tersebut antaranya ada menyebut bahawa “...satu pelan tindakan telah disediakan yang memberi tumpuan kepada industri tempatan melalui pemberian geran penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutamanya industri dan perusahaan tempatan berlandaskan EV”. Kenyataan tersebut amat dialu-alukan. Saya ingin memohon maklumat lanjut mengenai pelan tindakan tersebut dan berapakah jumlah geran yang disediakan untuk tahun 2022?
Kedua, berkenaan motosikal elektrik. Tuan Yang di-Pertua, sebuah ‘survey’ oleh Pew Research Centre menganggarkan 83 peratus daripada isi
rumah di Malaysia memiliki motosikal. Selain itu, lebih 400,000 motosikal dijual setiap tahun di Malaysia. Subsektor motosikal elektrik mempunyai potensi dibangunkan bukan sahaja untuk kegunaan tempatan, tetapi untuk menceburi pasaran luar negara. Maka saya memohon penjelasan kerajaan mengenai dasar atau hala tuju daripada segi motosikal elektrik. Saya juga memohon statistik berkenaan jenis motosikal elektrik yang telah diluluskan dan dijual di pasaran Malaysia termasuklah kadar penggunaan dalam kalangan masyarakat.
Ketiga berkenaan stesen pengecas EV. Tuan Yang di-Pertua, isu pokok berkenaan dengan kenderaan elektrik sudah semestinya berkaitan dengan stesen pengecas kereta elektrik. Menurut beberapa laporan, jumlah stesen pengecas di Malaysia adalah amat rendah. Sebuah laporan oleh Tech Wire Asia menganggarkan hanya ada sekitar 500 stesen pengecas jenis AC dan sembilan buah stesen pengecas jenis DC di Malaysia.
Jumlah ini ternyata membimbangkan jika dibandingkan dengan negara jiran kita, Thailand yang mempunyai lebih 1,400 stesen AC dan 771 stesen DC.
Maka, saya memohon penjelasan daripada kerajaan, khususnya, daripada segi langkah-langkah dan sasaran untuk meningkatkan jumlah stesen pengecas EV Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat atas sokongan terhadap kerajaan dalam usaha memperkembangkan industri Electric Vehicle
(EV) di Malaysia melalui penawaran pelbagai insentif di bawah Belanjawan 2022, seperti pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan.
Untuk makluman Yang Berhormat, sebagai permulaan di dalam menghasilkan satu dasar EV yang komprehensif bagi negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri mengenai Dasar Pembangunan Industri Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia kepada Jemaah Menteri pada bulan September 2021.
Dalam hal ini, Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri turut menyokong penubuhan dasar ini yang didapati selari dengan perkembangan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 yang sedang di dalam penyediaan oleh EPU Jabatan Perdana Menteri. Aspirasi EV ini turut mengambil kira fokus yang terkandung di dalam Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), Dasar Pengangkutan Negara (NTP 2019-2030), Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 dan selaras dengan sasaran Neutral Karbon 2050 melalui penggunaan mobiliti elektrik yang meluas di dalam Keluarga Malaysia.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, MOSTI melalui NanoMalaysia, akan meneruskan agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai pencipta dan pengeluar komponen teknologi EV melalui Program Revolution yang membawa fokus kepada pembangunan dan pengkomersilan teknologi tenaga diperbaharui sistem storan tenaga dan kenderaan elektrik serta diperkasakan dengan Internet of Nano Things.
Bagi MOSTI pula, Dasar Pembangunan EV ini adalah disokong oleh rangka kerja 10-10 Malaysian Science, Technology, Innovation and Economy
(MySTIE). Bidang-bidang terangkum di dalam dasar ini telah dikenal pasti sebagai pemacu sosioekonomi antaranya sebagai bidang tenaga, bandar pintar dan pengangkutan serta alam sekitar dan biodiversiti. Selain itu juga, sebagai pemacu sains dan teknologi antaranya seperti, teknologi biosains, teknologi dan sistem pintar termasuk Advanced Intelligent Systems, sensor technology dan advanced material yang merupakan bahagian kritikal di dalam pembangunan EV dan Next- Generation Vehicles (NxGV).
Bagi menyokong industri EV tempatan pula, kerajaan melalui MOSTI juga telah menyediakan Geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Saya=sehingga kini, MOSTI telah membiayai empat projek berkaitan kereta elektrik EV dengan kos berjumlah sebanyak RM28.16 juta di bawah dana Malaysia Grand Challenge (MGC). Manakala, 12 lagi projek berkaitan EV sedang di dalam penelitian dan pertimbangan pembiayaan geran R&D MOSTI.
Sebuah agensi di bawah MOSTI, NanoMalaysia Bhd (NMB) telah mengambil langkah awal menerajui pembangunan industri teknologi EV tempatan yang bermula di bawah Program Pengkomersilan Nano Teknologi RMKe-11
(2016-2020), yang telah berjaya menghasilkan dua projek berimpak tinggi yang telah dilaksanakan oleh NanoMalaysia Bhd iaitu Program Hydrogen EcoNanoMy yang membangunkan Sistem Teknologi Simpanan Pepejal Hidrogen Electrolyzer , komponen sel-fuel dan Nanotech Remote Energy System yang berkait dengan pembangunan sistem pengecasan EV tanpa wayar.
MIMOS Berhad dan NanoMalaysia Bhd juga telah mengenal pasti kelompok teknologi dan system on-board EV serta NxGV seperti sensor dan sensor fusion, electric drivetrain, electric powertrain dan advanced battery technology, dengan izin, bagi usaha pembangunan R&D eksperimental di Malaysia. Seterusnya juga, saya ingin mengatakan sokongan terhadap pandangan Yang Berhormat bahawa subsektor motosikal elektrik adalah berpotensi tinggi di dalam pasaran tempatan dan kemudahan berkaitan perlu diperkembangkan. Oleh itu, Dasar Pembangunan EV Negara, secara berterusan akan turut menyokong pembangunan ekosistem EV serta mobiliti mikro EV, iaitu kenderaan elektrik dua roda seperti motosikal dan scooter yang secara khususnya di Malaysia.
Dalam hal ini, hala tuju MOSTI daripada segi pembangunan teknologi motosikal elektrik dan mobiliti mikro EV meliputi yang pertama, pembangunan teknologi penyimpanan tenaga melalui Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia atau NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative
(NESTI) dan teknologi Hydrogen Energy Storage System (HESS).
Kedua, penyepaduan stesen pengecas hijau, pertukaran bateri, penggunaan fuel-cell hydrogen, integrasi ultrakapasitor berasaskan graphene dan sistem nano atau microgrid bagi pembangunan pasaran dan ekosistem mobiliti mikro. Ketiga, pembangunan dan penggunaan sistem pertukaran bateri untuk motosikal elektrik sebagai alternatif kepada sistem pengecasan bateri yang mengambil masa yang lama. Tuan Yang di-Pertua, saya juga menyambut baik cadangan Yang Berhormat supaya jumlah stesen pengecas EV dalam negara ini ditingkatkan. Pada masa ini, adalah dianggarkan sebanyak 500 buah battery electric vehicle (BEV) atau kenderaan elektrik berkuasa bateri sepenuhnya digunakan di dalam negara.
Kenderaan ini berbeza dengan kenderaan jenis plug-in hybrid electric vehicle iaitu bateri boleh dicas menggunakan kuasa enjin pembakaran dalaman
(internal combustion engine). Pertambahan bilangan kenderaan elektrik dalam
negara ini semestinya memerlukan ketersediaan kemudahan infra yang mencukupi demi kelestarian industri ini. Namun begitu, kos penyediaan infra atau stesen pengecas yang tinggi serta pulangan pelaburan yang rendah pada ketika ini menjadi faktor penghalang bagi sektor swasta bagi menerajui industri ini.
Dalam hal ini, peranan kerajaan dan agensi di bawahnya seperti PETRONAS adalah penting bagi memastikan kemudahan infrastruktur adalah mencukupi bagi perkembangan industri EV di dalam negara. Tumpuan perlu diberikan kepada pendorongan perkembangan infrastruktur EV yang kritikal seperti pengecasan bateri dan teknologi komunikasi berkaitan. Peranan MOSTI di dalam merevolusikan kemudahan pengecasan EV di Malaysia adalah melalui pertama, Projek Stesen Pengecasan EV System of Grade menggunakan tenaga diperbaharui. Kedua, juga melalui sistem pengecasan tanpa wayar (wireless charging).
Melalui Electric Mobility Blueprint (EMB) yang telah dilancarkan pada tahun 2015, sasaran jumlah stesen pengecas elektrik di seluruh negara menjelang tahun 2020 telah ditetapkan sebanyak 125,000 unit. Namun begitu, pencapaian sehingga bulan Disember 2020 hanya ada 400 buah stesen. Sasaran 125,000, tetapi yang ada cuma 400 buah stesen pengecas. Salah satu faktor yang menyumbang kepada jumlah stesen pengecas EV di Malaysia lebih rendah daripada sasaran ialah kekangan peruntukan dan insentif oleh pihak kerajaan.
Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyambut baik inisiatif pihak berkuasa tempatan yang menyediakan pusat pengecasan kenderaan EV di kawasan yang strategik. Sebagai contoh, terdapat 14 buah PBT yang menyediakan stesen pengecasan EV antaranya di Majlis Bandar Raya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Malaysian Green Technology Corporation, telah menyediakan sebanyak 216 lokasi EV charger di Malaysia dan hampir 60 peratus adalah bertumpu di Lembah Klang. Selain itu, GreenTech Malaysia juga bersama PETRONAS sedang bekerjasama di dalam membangunkan stesen pengecas kenderaan elektrik di stesen-stesen PETRONAS di lebuh raya utama di Semenanjung, Malaysia.
Pada masa ini terdapat sejumlah 61 stesen pengecas EV jenis alternating current (AC) di bawah rangkaian PETRONAS. Kemudahan stesen pengecas EV ini ditawarkan secara percuma kepada pengguna melalui inisiatif awam-swasta.
Ia juga merupakan antara inisiatif awal untuk menggalakkan pemilikan EV di Malaysia. ChargEV menyediakan rangkaian stesen pengecasan berdasarkan konsep langganan sebanyak RM240 setahun untuk mengakses semua stesen pengecasan EV yang terletak di seluruh negara tanpa had.
Dengan inisiatif-inisiatif yang positif, kerajaan yang telah dibentangkan di dalam Belanjawan 2022, bilangan stesen pengecas AC dan DC dijangka akan meningkat, sebagai contoh, MARii dan PEKEMA menyasarkan sebanyak 1,000 stesen pengecas DC menjelang tahun 2025. Manakala, PETRONAS bersama rakan kerjasamanya Mercedes dan EV Connection Sdn Bhd telah bersetuju untuk memasang lima stesen pengecas DC di dalam pertengahan tahun pertama 2022.
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Isu Pegawai Pendidik Terlibat dalam Video PolitikSpecial Chamber
Tuan Yang di-Pertua, pendidikan merupakan salah satu aspek yang sangat penting di negara kita. Kerajaan kita juga memberi peruntukan dengan jumlah yang besar kepada Kementerian Pendidikan setiap tahun untuk meningkatkan kemudahan sekolah-sekolah dan juga memajukan sektor pendidikan.
Pada pengetahuan saya, pegawai pendidikan tidak dibenarkan melibatkan diri dalam aktiviti politik kecuali beliau mendapat kebenaran rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Saya telah mendapati di kawasan saya iaitu P.208 Sarikei, beberapa pegawai pendidik terlibat di dalam media sosial yang disiarkan di Facebook bekas ADUN, Dato’ Sri Huang Tiong Sii. Dalam video tersebut, melibatkan kandungan pegawai pendidik mempromosikan ahli politik di dalam kawasan sekolah.
Terdapat dua video telah menyiarkan di Facebook bekas ADUN, Dato’ Sri Huang Tiong Sii iaitu pada 11 November 2021 dan 14 November 2021. Bekas ADUN tersebut masih bertanding Pada Pilihan Raya Sarawak yang akan datang.
Dalam video yang disiarkan pada 11 November 2021 dengan link https://fb.watch/9ktFUEoLly/ ada lima orang pegawai pendidik telah terlibat dalam video tersebut iaitu:
(i) Vincent Liong Shou Chuan, Guru Besar SMK St. Anthony;
(ii) Lee Lee, Penolong Kanan Tingkatan 6, SMK Bandar Sarikei;
(iii) Rose Wong Tai Ming, Guru Besar SMK Methodist Anglo Chinese;
(iv) Wong Chee Ching, Guru Besar SK St. Ann; dan
(v) Teng Kim Ung, Guru Besar SK Kwang Chien.
Video yang disiarkan pada 14 November 2021 dengan link https://fb.watch/9ktKHPbzNv/, ada empat orang pegawai iaitu:
(i) Goh Tsui Mei, Guru Besar Ming Lik Secondary School;
(ii) Jim Barry John Sahol, Penolong Kanan Am SMK Sungai Poah;
(iii) Lei Ko Kien, Guru Besar SJK Chung Hien; dan
(iv) Hii How Shuay, Guru Besar SJK San Ming.
Tuan Yang di-Pertua, adakah pegawai pendidik tersebut mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan aktiviti politik? Selain itu, saya juga mendapati bekas ADUN, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memaksa pihak sekolah meletak plak di sekolah untuk mempromosi imej diri.
Memberi sumbangan kepada pihak sekolah adalah tanggungjawab setiap wakil rakyat kerana sumbangan tersebut juga adalah duit cukai daripada rakyat.
Wakil rakyat hanya merupakan ejen kerajaan tetapi beliau telah menjadikan perkara tersebut sebagai pencapaian diri terutamanya mempromosikan diri pada masa sekarang Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak
yang akan datang. Dengan ini, saya meminta Kementerian Pendidikan menyiasat dan memberi jawapan dengan adil supaya parti-parti lain juga boleh mempromosikan imej sendiri di kawasan sekolah. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di- Pertua, terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Tuan Wong Ling Biu dari Sarikei yang membawakan isu pegawai perkhidmatan pendidikan yang terlibat dengan video politik. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses siasatan terhadap guru yang terlibat. Tindakan tatatertib boleh diambil berdasarkan Peraturan 21, Peraturan Pegawai-pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A)395] . Selain itu, peraturan tersebut juga menetapkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan cara apa yang lain termasuk media sosial:
(i) membuat apa-apa pernyataan awam berhubung dengan apa-apa dasar, program atau keputusan kerajaan di atas apa-apa isu;
(ii) memberi apa-apa maklumat faktual berhubungan dengan jabatannya; atau
(iii) memberi apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa insiden atau laporan berhubungan dengan jabatannya.
Pegawai juga tidak boleh mengelilingkan apa-apa pernyataan, maklumat atau penjelasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu, sama ada secara am atau khusus, daripada Menteri yang bertanggungjawab bagi kementerian atau jabatan dia sedang berkhidmat. Selaras dengan peraturan tersebut, KPM turut mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia, Bilangan 3 Tahun 2017, mengenai ‘Garis Panduan Nilai & Etika Penggunaan Media Sosial Bagi Guru dan Murid’ sebagai rujukan semasa menggunakan media sosial.
Sebarang penyalahgunaan media sosial yang dilaksanakan oleh para guru boleh dikenakan hukuman sehingga buang kerja. Seterusnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi surat edaran bertarikh 7 Jun 2013 mengenai ‘Tanggungjawab Pegawai Awam Dalam Memelihara Integriti Perkhidmatan Awam Semasa Menggunakan Kemudahan Media Sosial di Internet’ telah menerangkan kepentingan penjawat awam untuk mempertahankan prinsip neutrality dan impartiality semasa menggunakan media sosial.
Oleh itu, pada hemat KPM, semua penjawat awam termasuk para guru hendaklah patuh kepada semua peraturan dan garis panduan yang telah disebutkan di atas demi memastikan penjawat awam sentiasa telus dan tidak memihak kepada mana-mana pihak politik sepertimana yang disebutkan oleh Ahli Yang Berhormat Sarikei. Sekian, terima kasih.
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga hari Isnin, 13 Disember 2021, jam 2.30 petang. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.
[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 2.57 petang]