Dewan Rakyat · 13 February 2023
15th Parliament, session 2, meeting 1 · 23 turns · 4,340 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Kelima Belas
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen yang Kelima Belas, Penggal Kedua yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung. Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong KeXVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama. Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.32 pagi]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 10.36 pagi]
[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersembahkan Titah Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]
Titah Seri Paduka Bagindayang Di-Pertuan Agong XVI — Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in BillahBill
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassolaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Anbiyaai Wal Mursaliin, Wa’ala Aalihi Wa Sohbihi Ajma’iin. Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Dewan Negara dan Ahli-ahli Dewan Rakyat sekalian yang Beta hormati sekalian. Segala puji bagi Allah yang memiliki dan menguasai semesta alam. Maha Suci Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menjadikan gelap serta malam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli-ahli keluarga serta para sahabat Baginda.
Alhamdulillah bersyukur Beta kehadrat Allah SWT kerana dengan kekuasaanNya telah mengizinkan untuk berlangsungnya Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas pada pagi yang penuh bersejarah ini. Sebelum meneruskan titah, Beta ingin merakamkan ucapan takziah kepada Presiden serta seluruh rakyat Turkiye dan Syria di atas kejadian gempa bumi yang telah meragut ribuan nyawa baru-baru ini. Sesungguhnya Malaysia merasa amat dukacita di atas musibah tersebut. Justeru Beta meminta Ahli-ahli Yang Berhormat untuk berdiri bertafakur bersama Beta dan kepada yang beragama Islam marilah kita sedekahkan Al- Fatihah. [Ahli-ahli Yang Berhormat berdiri bertafakur dan Ahli-ahli beragama Islam membaca Al-Fatihah]
Amin. Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Beta turut bersyukur Pilihan Raya Umum Kelima Belas telah berjaya diadakan dalam suasana yang aman dan penuh harmoni. Justeru Beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, anggota pasukan keselamatan, semua agensi kerajaan serta rakyat Beta yang telah menunaikan kewajipan masing-masing. Marilah kita bersama berlapang dada dengan hati yang terbuka untuk menerima dan menghormati keputusan pilihan raya tersebut. [Tepuk] Beta turut ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat sekalian kerana telah terpilih sebagai wakil rakyat. Ia adalah merupakan satu amanah besar untuk berkhidmat berbakti dan membela nasib rakyat Beta. Sekalung tahniah buat Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Ahli Parlimen Tambun yang telah dilantik oleh Beta sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Kesepuluh serta kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan. [Tepuk] Syabas juga kepada Mamanda Perdana Menteri yang telah membuktikan keabsahan beliau melalui usul Undi Percaya di Dewan yang mulia ini 19 Disember 2022 yang lalu. Pada kesempatan ini juga Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Ahli Parlimen Bera di atas segala jasa dan sumbangan bakti beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri yang Kesembilan. Ahli-ahli Yang Berhormat, Beta menyambut baik permuafakatan yang tercapai di kalangan pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia yang selari dengan cetusan hasrat murni Beta untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan lagi utuh. Dengan demikian, kerajaan Beta boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat Beta. Beta menghargai pengenalan inisiatif negara madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.
Besar harapan Beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara. Usaha dan hasrat kerajaan untuk mengindahkan gerai-gerai di sekitar bandar raya Kuala Lumpur termasuk membina mercu-mercu tanda adalah bertepatan dengan aspek ihsan ataupun compassionate yang terkandung dalam dasar baharu kerajaan, yakni Malaysia Madani. Beta turut yakin akan kemampuan Jabatan Wilayah Persekutuan dalam merangka agenda pembangunan untuk masa hadapan secara mampan, secara berdaya huni dan pintar yang selari dengan hasrat Malaysia Madani yang turut memberi penekanan kepada aspek kemampanan ataupun sustainability yang berkonsepkan ‘Green City’ dan ‘Smart City’. Sasaran untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar menjelang tahun 2030 adalah realistik dan sewajarnya turut menitik beratkan aspek perencanaan dan perancangan yang baik. Usaha untuk menggalakkan penggunaan bas elektrik di ibu kota Kuala Lumpur menjadikan Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon serta pemasangan WiFi di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam di Labuan turut dialu-alukan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, semangat muhibah dan saling menghormati antara kaum adalah asas kepada kestabilan negara. Kerana itu, keutuhan keharmonian menerusi Gagasan Perpaduan yang berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijadikan agenda utama demi nusa tercinta. Selain itu agenda perpaduan dalam konteks kebudayaan juga perlu diberi tumpuan melalui pelaksanaan program-program berorientasikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Ia juga adalah selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya untuk mengamalkan sifat tasamuh atau toleransi dan menghindari gejala pelampau yang boleh menggugat keharmonian kaum. Beta menyambut baik inisiatif untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah berasaskan prinsip maqasid syariah dalam pentadbiran negara. Ia merangkumi aspek pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam seperti pendidikan Islam, dan undang-undang syariah, institusi kekeluargaan, pensijilan halal Malaysia dan pendidikan tahfiz al-Quran. Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan kerohanian, intellectual dan sahsiah diri yang unggul. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias cabaran ekonomi global termasuk ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik COVID-19, krisis geopolitik yang membawa kesan kepada rantaian bekalan dan tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup. Bagi mendepani cabaran ini Beta mengalu-alukan usaha untuk membendung isu ketirisan dana awam termasuk inisiatif, untuk mempercepat dan memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamatnya dengan lebih berkesan. Bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, Beta menghargai komitmen serta tekad kerajaan Beta untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah bersekala besar.
Kerajaan Beta juga akan menumpukan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia menjadi destinasi pelaburan pilihan. Buktinya negara telah mencatat eksport bernilai RM1.552 trilion pada Disember 2022 iaitu satu peningkatan 25 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021. [Tepuk] Pencapaian ini telah melepasi sasaran jumlah eksport negara tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 iaitu sebanyak RM1.25 trilion menjelang tahun 2025. Baru-baru ini Bank Negara juga telah mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia mencatat pertubuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun apabila berkembang pantas sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022 iaitu pencapaian yang terbaik di Asia Tenggara. Ini dapat dicapai menerusi kerja keras dengan peningkatan Whole of Nation Approach daripada pelbagai pihak merangkumi kerajaan, sektor swasta,
syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat keseluruhannya. Syabas, Malaysia. [Tepuk] Pelaksanaan dasar dan inisiatif nasional seperti Dasar Pelaburan Baharu berteraskan aspirasi pelaburan nasional akan merancakkan lagi ekonomi negara dan mencapai sasaran yang diunjurkan. Di samping itu, Program Pembangunan Sosioekonomi seperti agenda pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan penerima gunaan teknologi, keusahawanan serta pembangunan modal insan amat perlu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi. Pada masa yang sama, kerajaan Beta hendaklah meneruskan usaha memerangi kemiskinan tegar melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada tahun 2025. Ini amatlah bertepatan dengan indikator matlamat pembangunan mampan ataupun sustainable development goals. Yang pertama; iaitu kemiskinan sifar bagi memastikan tahap kemiskinan tegar bertambah baik. Industri yang strategik dan berimpak tinggi seperti teknologi hijau dan kenderaan elektrik, perlu terus diteroka bagi mencipta aliran pendapatan negara yang baharu. Dalam mendepani cabaran agenda pelestarian alam sekitar; kerajaan Beta telah memperkenalkan agenda nasional transformasi sektor air 2040 bagi menjamin kemampanannya. Selain dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), transformasi tersebut akan turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta memudah cara pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STIE) dan juga penyelidikan, pembangunan inovasi dan pengkomersialan (RDIC). Kerajaan komited dalam menangani perubahan iklim bagi mengurangkan gas rumah kaca, mengurangkan risiko bencana seperti banjir dan sebagainya dengan pendekatan secara berperingkat. Sektor agrikomoditi juga memberi sumbangan yang signifikan kepada KDNK, pendapatan eksport negara dan pembangunan masyarakat luar bandar; khususnya mengurangkan jurang pendapatan serta kadar kemiskinan penduduk. Bagi tempoh Januari hingga September 2022, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM61.3 bilion iaitu 5.5 peratus daripada keseluruhan KDNK. Dalam usaha merakyatkan sains, kerajaan Beta akan memberi tumpuan kepada inovasi sosial bagi melahirkan budaya inovatif di kalangan rakyat dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penggunaan teknologi. Pembudayaan sains, teknologi dan inovasi di kalangan masyarakat akan dilaksanakan menerusi program Malaysia “techlympics” dan Minggu Sains Negara. Daya saing syarikat tempatan akan diperkukuh melalui program penggunaan barangan dan perkhidmatan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dalam perolehan kerajaan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Sepertimana kebanyakan negara lain, Malaysia turut tidak terlepas daripada menghadapi inflasi serta peningkatan kos sara hidup. Bagi mendepani permasalahan ini, Beta mengalu-alukan usaha untuk memperkasa fungsi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara. Beta yakin dengan semangat ihsan dan inisiatif Rahmah serta daya, mampu membawa perubahan dalam memberikan jaringan perlindungan sosial dan seterusnya membendung isu kos sara hidup. Justeru, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan diperkasa dengan menerap dan meningkatkan pendekatan secara menyeluruh kekuatan negara melibatkan pengeluar; peniaga, pengguna dan semua agensi kerajaan. Ekosistem perdagangan dalam negeri akan terus diperkasa dengan maksud melindungi kepentingan pengguna melalui konsep mengharmonikan ekonomi. Kerajaan sentiasa prihatin akan nasib rakyat ekoran kesan kenaikan kadar inflasi global, kelemahan mata wang Ringgit berbanding Dolar Amerika, serta fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19. Dalam hal ini, kerajaan Beta akan terus mengambil langkah untuk meringankan beban penternak, petani dan pengeluar makanan, susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan agar kelangsungan pengeluaran makanan negara akan berada pada tahap yang optimum dan aspek keterjaminan makanan negara kekal pada tahap terbaik. Ekosistem industri juga hendaklah sentiasa
dikawal selia dan di tambah baik seiring perkembangan semasa. Justeru, Beta menyambut baik matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Bagi menyokong usaha tersebut, penyediaan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan digital perlu terus dipertingkatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional Tahun 2030. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Beta telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. Pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknik; menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak, adalah antara yang telah diputus dan dipersetujui oleh kerajaan Beta. [Tepuk]
Pada masa yang sama, usaha untuk membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus dipergiatkan. Bagi memperkasa pentadbiran undang-undang, pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak juga wajar diberi perhatian. Infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkatkan menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik. Jurang pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik, termasuk Orang Asli akan terus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing. Tidak ketinggalan juga Dasar Perlindungan Sosial akan disusun semula bagi memastikan jaminan keselamatan dan perlindungan sosial yang lebih komprehensif dan lebih bersepadu pada rakyat Beta. Majlis Perlindungan Sosial Malaysia akan dimantapkan peranannya bagi memberi dimensi baru kepada landskap perlindungan sosial di Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa. Dewasa ini, aspek kesalinghubungan digital merupakan antara asas terpenting pembangunan sesebuah masyarakat dengan ekosistem digital. Ke arah ini, Pelan Jalinan Digital Negara telah dibangunkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara agar rakyat Beta dapat menikmati peluang yang bakal diwujudkan oleh teknologi digital dan seterusnya, menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara. Pada tahun 2021, ekonomi digital telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus pada KDNK dan e-Dagang merupakan sektor yang paling pesat berkembang. Bagi merealisasikan Agenda Pendidikan Digital Negara dan menjamin akses kepada pendidikan, Dasar Pendidikan Digital yang merangkumi penyediaan infrastruktur dan keupayaan digital sedang dirangka. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 juga sedang dikemas kini bagi menjamin keselamatan data peribadi agar ia seiring dengan perkembangan teknologi serta perubahan perundangan privasi global. Pelbagai program turut diadakan untuk meningkatkan kesedaran rakyat dan pengguna data, termasuk aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan akta tersebut. Selain itu, tumpuan hendaklah terus diberikan terhadap penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam melalui kemapanan sektor pembinaan. Dasar Pembinaan Negara akan memberi fokus kepada pendigitalan serta kemapanan sektor pembinaan dan mengangkat penyenggaraan infrastruktur sebagai salah satu segmen industri pembinaan yang akan dibangunkan bagi memastikan pengurusan aset dan kemudahan yang lebih berkesan. Beta merasa amat sukacita dengan prestasi pelaksanaan Projek Fasa 1 Lebuh Raya Pan-Borneo di Sabah dan Sarawak yang telah dimulakan pada tahun 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024. Menjadi impian Beta untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan-Borneo ini, khususnya untuk Beta dan Raja Permaisuri mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat Beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu ini. [Tepuk] Program kembara ini sedang dirangka oleh pihak Istana Negara dan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak, insya-Allah.
Kerajaan Beta juga hendaklah meneruskan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam berimpak tinggi bagi meningkatkan ketersambungan dan kemudahsampaian, di samping menjana kesan pengganda yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi. Penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia dan lestari terhadap alam sekitar akan terus diberikan fokus. Usaha tersebut dapat direalisasikan melalui pengangkutan yang optimum serta meningkatkan kesedaran rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan yang bercirikan cekap tenaga dan rendah karbon. Kerajaan Beta juga amat prihatin dengan keluh-kesah dan kesusahan rakyat Beta, khususnya kumpulan B40 dalam aspek pemilikan rumah. Oleh itu, agenda pemilikan rumah telah dirangka dengan memberikan tumpuan kepada akses terhadap perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki. Ini sejajar dengan konsep Malaysia Berdaya Huni melalui penetapan hala tuju baharu pelaksanaan Program Perumahan Rakyat yang akan mengambil kira klasifikasi pendapatan isi rumah tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan meningkatkan kadar kelayakan maksimum pendapatan isi rumah bagi permohonan Program Perumahan Rakyat. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kerajaan Beta bertekad untuk melipatgandakan usaha perlindungan kanak-kanak, khususnya daripada jenayah seksual sama ada secara fizikal mahupun dalam talian. Seiring dengan itu, perundangan sedia ada akan ditambah baik untuk membela mangsa dan saksi kanak-kanak, selain mewujudkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak yang bebas melalui penggubalan akta yang baharu. Semua lapisan masyarakat mestilah bertanggungjawab dan memainkan peranan aktif dalam memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan masa hadapan mereka sebagai pewaris bangsa dan negara akan terus terbela. Bagi mencapai maksud tersebut, penambahbaikan yang merangkumi transformasi institusi dan undang-undang, peningkatan kesedaran dalam masyarakat, mewujudkan kerjasama antara institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, aktivis, wakil komuniti dan sebagainya akan terus dilaksanakan. Bagi memelihara kesejahteraan Orang Kurang Upaya, Beta mengalu-alukan usaha untuk mengkaji semula Akta Orang Kurang Upaya 2008. Beta juga berharap usaha untuk pemerkasaan wanita yang merupakan tonggak dalam institusi keluarga perlu dipertingkatkan. Usaha tersebut bukan sekadar mengembangkan potensi kaum wanita, malah ia juga untuk memastikan penyertaan kaum wanita akan merancakkan ekonomi negara dan seterusnya, menjadikan Malaysia lebih berdaya saing ke arah negara berpendapatan tinggi. Beta turut mendukung usaha untuk menambah baik undang-undang bagi memastikan kebebasan institusi dan tadbir urus yang baik, termasuklah pembaharuan sistem perundangan, pengadilan jenayah dan institusi penjara. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi mendepani cabaran ekonomi tahun 2023, Kerajaan Beta akan menambah baik aspek perlindungan keselamatan sosial golongan pekerja. Ini termasuk peningkatan caruman bagi Program Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang telah dikuatkuasakan mulai 1 Disember 2022. Selain itu, usaha untuk menyediakan kuarters pekerja berpusat (centralise labour quarters) turut wajar diberikan perhatian.
Beta juga menyokong usaha agar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkasakan. Antara pendekatan baharu bagi mencapai maksud tersebut termasuklah usaha sama antara pihak awam dan swasta di mana pihak industri menerajui pengoperasian institusi TVET awam bagi memastikan graduan institusi tersebut dilatih berdasarkan keperluan semasa industri setempat. Beta juga mendukung langkah dalam meningkatkan tahap kemahiran pekerja menerusi program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separa mahir yang berupaya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Penyediaan prasarana dan infrastruktur institusi pendidikan yang selamat dan kondusif akan terus menjadi agenda utama. Agenda pembangunan tidak akan berupaya membawa kebaikan andai masyarakat kita masih fakir ilmu dan kemahiran serta kontang nilai yang baik. Oleh itu, sektor pendidikan tinggi yang terdiri daripada 20 buah universiti awam, 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan 415 institusi pendidikan tinggi swasta menggalas tanggungjawab yang besar untuk memacu agenda melahirkan modal insan yang berbakat. Adalah menjadi keutamaan sektor pendidikan tinggi untuk sentiasa meneroka inovasi dan pendekatan segar, strategik dan pragmatik. Beta juga menyambut baik pelaksanaan program pemerkasaan belia dan program literasi kewangan belia untuk mempersiapkan belia agar berilmu dan berwawasan, mempunyai semangat patriotik dan jati diri yang tinggi, cakna dengan perkembangan semasa, ihsan terhadap masyarakat dan persekitaran dan mampu mengurus kewangan sendiri dengan lebih baik. Dengan keperibadian tersebut, Beta yakin generasi belia sedia ada pasti berupaya untuk memimpin negara menjadi lebih maju pada masa hadapan. Peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta peningkatan populasi rakyat yang semakin menua merupakan antara isu kesihatan yang perlu menjadi keutamaan kerajaan Beta. Beta mengalu-alukan usaha merangka strategi yang lebih objektif dan inklusif bagi memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan awam dan menambah baik perkhidmatan kesihatan primer termasuk penyediaan kemudahan dan perkhidmatan lebih baik kepada warga tua. Usaha memodenkan penyampaian perkhidmatan kesihatan khususnya menaik taraf kemudahan, memantapkan penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan dan merekayasa semula prosedur penyampaian perkhidmatan menerusi pendekatan kolaboratif dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan hendaklah wajar diteruskan. Selain itu, inisiatif bersifat membendung dan menggalak pengesanan awal penyakit perlu ditingkatkan menerusi Skim Peduli Kesihatan dan termasuk penekanan terhadap aspek kesihatan mental. Beta turut mengucapkan syabas atas usaha Kementerian Kesihatan menyediakan khidmat sokongan dalam bentuk talian bantuan psikososial serta khidmat kaunseling di pejabat kesihatan daerah. [Meneguk air] . Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dalam memajukan ekonomi negara, aspek keselamatan dan ketenteraman awam perlu dititikberatkan. Cabaran dan ancaman keselamatan sentiasa bersifat dinamik dan memerlukan kesiapsiagaan negara menghadapinya. Ini termasuk penyelenggaraan serta perolehan peralatan dan kelengkapan baharu. Kelemahan kaedah lama yang merugikan serta melemahkan pertahanan negara perlu segera dihentikan. Beta turut berpandangan isu-isu berkenaan Pendatang Asing Tanpa Izin dan pelarian termasuk pemohon suaka hendaklah segera ditangani dengan lebih tegas oleh kerajaan Beta. Selain itu, trend peningkatan jenayah siber juga semakin membimbangkan. Untuk itu, penguatkuasaan undang-undang memerlukan tadbir urus dan penyelarasan yang cekap dan berkesan. Usaha berterusan dan bersepadu hendaklah terus dipergiat bagi memastikan negara terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman supaya Malaysia kekal aman, sejahtera dan berdaulat. Malaysia juga perlu terus mengukuhkan lagi kerjasama serta diplomasi pertahanan dengan negara-negara serantau serta global bagi memelihara kepentingan dan tahap keselamatan nasional. Dalam mendepani cabaran mendatang, aspek keselamatan fizikal melalui pengurusan risiko bencana perlu diberikan penekanan demi kelangsungan hidup rakyat. Pendekatan lebih sistematik dan strategik hendaklah segera dilaksanakan bagi menangani sepenuhnya kesan daripada musibah bencana alam terutamanya banjir yang berlaku saban tahun. Musibah tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022, wajar dijadikan iktibar agar peristiwa seperti itu tidak akan berulang lagi. Justeru, sudah tiba masanya mekanisme pengurusan bencana dipastikan berkesan menerusi penyelarasan gerak kerja yang lebih sempurna. [Meneguk air] .
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, semasa lawatan ke beberapa negara sebelum ini, Beta menyambut baik kesediaan pemimpin-pemimpin negara tersebut untuk meningkat dan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama diplomatik dan perdagangan dengan Malaysia. Peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Malaysia sama sekali tidak boleh ketinggalan dalam membentuk kerjasama bagi menghadapi persaingan global. Dalam mengemudikan hubungan luar negara, Malaysia perlu terus mengamalkan pendekatan pragmatik dan berprinsip. Beta menyokong Dasar Luar Negara yang berlandaskan kepada keamanan, kestabilan, kemakmuran dengan kepentingan rakyat sebagai teras utama. Daripada aspek industri pelancongan, Beta mengucapkan tahniah kerana Malaysia telah mencapai sasaran 9.2 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM26.8 bilion pada akhir tahun 2022. [Tepuk] [Meneguk air] . Nak habis dah. [Ketawa] . Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Beta telah bersemayam di atas takhta singgahsana Kerajaan Malaysia bermula pada 31 Januari 2019. Sehingga ke hari ini, Beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk beta lupakan. Ini daripada hati ya. Terpahat dalam sejarah negara bahawa Beta adalah merupakan satu- satunya yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri [Tepuk] bersama empat Jemaah Menteri yang berlainan. [Ketawa] . Beta bermula dengan Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Ke-7 − Cerita sikit ya. Namun pada 24 Februari 2020, buat pertama kalinya Beta dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik tanah air menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7.
Selaras dengan kuasa budi bicara yang di-berikan kepada Beta oleh Perlembagaan Persekutuan, Beta selanjutnya telah mendapati Yang Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Haji Mohd Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 juga telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021. Makanya, Beta sekali lagi terpaksa menggalas amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri yang baru. Beta selanjutnya telah berpuas hati bahawa Yang Berhormat Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob telah memperolehi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan selayaknya dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021. Tidak berapa lama kemudian, Perdana Menteri ke-9 pula telah memohon perkenan Beta untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 dan Beta telah memperkenankan untuk Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022. Setelah selesai Pilihan Raya Umum ke-15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung. Maka, sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang Perdana Menteri terpaksa digalas oleh Beta. Betapa berat mata yang memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul. Dalam situasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, bila mana tiada parti politik atau gabungan dominan yang telah memperolehi majoriti mudah, Perlembagaan Persekutuan menuntut Beta untuk melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta telah memperolehi kepercayaan majoriti Dewan Rakyat. Bagi mencapai hasrat tersebut, Beta telah membuka seluas-luasnya ruang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara. Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, pada 24 November 2022, Beta telah berkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Secara ikhlas, Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat Beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur. Namun ini, semuanya adalah ketentuan Allah Subhanahu wa Taala. Manusia merancang, Allah menentukan segala-galanya.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, [minum air] pepatah Melayu lama mengingatkan kita, jika kerbau dipegang pada talinya, manusia pula dipegang pada janjinya – Flashback sikit. Pada 31 Januari 2019, Beta telah melafazkan sumpah untuk sesungguhnya dan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagai mana undang- undang dan Perlembagaan Persekutuan. Hakikatnya, Beta hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti mana yang telah beta lafaz dan ikrarkan. Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air. Pada pengamatan Beta, secara peribadi, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 juga akan dapat dielakkan. Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir 4 tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat Beta dan negara yang kita cintai ini. Sebenarnya, semenjak negara mencapai kemerdekaan 66 tahun yang lalu, kita telah menerima kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara. Pada usia 66 tahun, kita semua sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang-menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh. [Meneguk air] Jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, Beta merasa khuatir; suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya. Ahli-ahli Yang Berhormat yang Beta kasihi sekalian, masa berlalu begitu pantas sekali, sepantas awan yang berarak pergi. Pada 30 Januari 2024 kelak, Beta akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16. Makanya, ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat Beta berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen dan bertitah di dalam dewan yang cukup mulia ini. Justeru, izinkan Beta pada kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan di atas taat setia yang telah dicurahkan kepada Beta dan negara tercinta oleh semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas perkhidmatan kesihatan dan warga Parlimen, serta seluruh agensi kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh profesional dan berkecuali tanpa mengenal penat dan lelah. Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Beta yang telah hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai, serta terus gagah menghadapi pelbagai gelora pandemik, kemurungan ekonomi dan kemelut politik yang melanda tanah air. Sebagai pesanan terakhir Beta kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, janganlah bersikap hanya menilik balas dan menanti pujian. Sebaliknya, jagalah nama baik dan kehormatan Dewan yang mulia ini dan berkhidmat setulus hati sebagai wakil rakyat yang sentiasa meletakkan rakyat Beta dan masa hadapan negara dalam hati sanubari setiap Ahli-ahli Yang Berhormat. Beta berdoa dan berharap, kerajaan Beta akan menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berwibawa. Manakala, barisan pembangkang pula akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina dan sebagai pihak semak dan imbang kepada kerajaan Beta. Ketepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan. Kestabilan landskap politik menerusi ikatan perpaduan dari Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang, insya-Allah.
Sesungguhnya, perpaduan adalah penyatuan dalam perbezaan agama dan bangsa. Perpaduan adalah asas pembinaan kestabilan dan keharmonian. Perpaduan adalah tiang kemakmuran dan kemajuan. Perpaduan membawa kejayaan. Beta berdoa,
semoga negara Malaysia bersama rakyat yang Beta sangat kasihi akan terus hidup dengan penuh kerukunan atas dasar perpaduan dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT. [Meneguk air] Sebagai menutup bicara, izinkan Beta untuk menyampaikan tiga buah rangkap pantun untuk mengakhiri ucapan Beta. Dari Tambun hendak ke Bera, Singgah di Chemor beli keria, Perpaduan bangsa kekuatan negara, Malaysia maju dan makmur di persada dunia. [Tepuk] Buah durian di Pulau Jawa, Masak ranum di atas para, Teguh bersatu semaikan di jiwa, Tanda sepakat membina negara. [Tepuk] Bara api panas berbahang, Jangan diletak di telapak tangan, Beta berdua pulang ke negeri Pahang, Hilang di mata di hati jangan. [Tepuk] Sekian. Wabiliahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Tepuk] [Doa Selamat dibacakan oleh Sahibus Fadillah Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan bin Haji Mohd Hosni]
[Dewan ditangguhkan pada pukul 11.37 pagi]
[Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Majlis Parlimen]