Johor · 9 August 2018
1st session, 2nd meeting · 4 turns · 881 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi membolehkan kita semua menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Tuanku, di hadapan Tangga Agung bangunan ini, maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga jam 10.30 pagi.
Persidangan di tangguhkan pada jam 9.30 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 10.30 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Sukacita saya maklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat masuk sebentar lagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan untuk bertitah kepada Dewan ini.
DYMM Tuanku Sultan Johor : Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh. Bismillahhirrahmaannirrahim.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam, kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul, serta keluarga, dan para sahabatnya sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas pada pagi yang berbahagia ini.
Saudara saudari sekalian,
Persidangan Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas ini melakar satu sejarah kerana buat pertama kalinya telah berlaku perubahan yang menyeluruh kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri apabila majoriti Ahli Dewan di sini mewakili parti gabungan Pakatan Harapan.
Suka saya tegaskan bahawa perubahan ini bukan bermakna wujudnya satu kerajaan yang baharu tetapi hanyalah barisan kepimpinan yang baharu atau ‘ruling government’ yang mentadbir kerajaan Johor dengan asas tujuan yang kekal sama iaitu menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat Johor. Oleh yang demikian, mana-mana program yang baik yang telah dibuat oleh pentadbiran dahulu perlulah dikekalkan atau ditambah baik, bukannya terus dihentikan.
Saudara saudari sekalian,
Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor. Suka saya ingatkan bahawa jawatan yang diberikan itu mempunyai tanggungjawab yang besar dan mesti dipikul dengan jujur dan amanah. Setiap program yang hendak dibuat haruslah di bincang dulu dengan semua pihak yang terlibat bagi menghasilkan satu pelan tindakan yang dipersetujui bersama. Fikirkan tentang kesan jangka panjang dan implikasi kewangan yang terlibat bukan hanya untuk meraih sokongan politik.
Setiap Ahli Dewan juga hendaklah bersikap terbuka dan mendengar pendapat orang lain, bukannya terus menolak segala cadangan yang tidak selari dengan kehendak politik atau kepentingan diri sendiri. Suka juga saya ingatkan kepada semua Ahli Dewan supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berada dan berbahas di dalam Dewan ini. Saya tidak mahu Dewan ini dijadikan seperti ‘sarkas’. Saya harap Speaker Dewan Negeri akan menjalankan tugasnya dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur. Sekiranya ada Ahli-Ahli yang bertindak melampaui batas dan melanggar Peraturan yang telah ditetapkan, maka arahkan mereka supaya keluar daripada Dewan ini.
Saudara saudari sekalian,
Sebagai Raja yang memerintah, saya juga memegang amanah dan bertanggungjawab terhadap kepentingan negeri Johor dan rakyatnya, Bangsa Johor. Saya akan sentiasa memantau kerajaan saya dan memberikan nasihat serta pandangan kepada Menteri Besar dan kerajaan pimpinannya. Perkara utama yang suka saya tekankan adalah tentang pengurusan kewangan kerajaan yang cekap dan berhemah. Suka saya ingatkan supaya kerajaan mengawal perbelanjaan agar tidak melebihi hasil pendapatan yang diterima.
Kerajaan mestilah berusaha untuk mencapai lebihan hasil atau ‘surplus’ supaya mempunyai rizab simpanan untuk masa hadapan. Kerajaan negeri juga perlu berusaha untuk mendapatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan persekutuan bagi mengurangkan beban kewangan negeri. Kerajaan juga hendaklah mengekalkan prestasi kemajuan ekonomi negeri yang tinggi dengan menggalakkan pelaburan yang berterusan dari dalam dan luar negara bagi menggalakkan lebih banyak pelabur untuk datang ke negeri Johor, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur awam yang baik, dasar yang konsisten, dan insentif yang menarik.
Saya menyeru kepada kerajaan supaya mengukuhkan sistem pentadbiran tanah dan kerajaan tempatan supaya selari dengan pembangunan ekonomi di negeri Johor. Pengurusan alam sekitar, sumber air dan hutan, perlu juga diberi perhatian yang serius bagi menjamin kesejahteraan hidup yang berkekalan untuk generasi anak cucu kita pada masa hadapan.
Suka saya ingatkan kepada semua kakitangan dan jentera pentadbiran kerajaan supaya sentiasa menjaga imej yang baik dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang dengan penuh dedikasi dan integriti. Saya juga ingin mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati apabila membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan kata-kata atau desakan orang luar yang tidak tahu tentang sejarah dan cara pentadbiran negeri Johor.
Baca dan fahami setiap perkara yang terkandung di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, yang telah menjadi asas kepada pembentukan dan kemajuan negeri Johor sehingga ke hari ini.
Saudara saudari sekalian,
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Dewan dan pemimpin yang lepas yang telah mencurahkan bakti kepada negeri Johor. Untuk Ahli-Ahli Dewan di sini dan barisan pemimpin kerajaan yang baharu, suka saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan berkhidmatlah dengan ikhlas demi untuk kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.
Saya berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga negeri Johor akan terus maju membangun, kekal aman dan makmur, dan rakyat dapat hidup dengan sempurna dan sejahtera.
Akhir kata, dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Penggal Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
Ampun Tuanku, Mufti Negeri Johor mohon perkenan membaca doa.
DOA. (Mufti Negeri Johor membaca doa).
Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian, Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat meninggalkan Majlis ini, maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga hari Ahad, 12 Ogos 2018 jam 9.30 pagi. Insya-Allah.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.15 pagi.