Johor · 12 August 2018

1st session, 2nd meeting · 186 turns · 32,151 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker

Speaker

(Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya sempurnalah sudah Majlis Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada hari Khamis, 9 Ogos 2018.

Dengan ini, Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah ucapan setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke Dewan yang mulia ini, bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sukacita dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri Kawasan Simpang Jeram merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang pada 14 Julai 2018 sempena Ulang Tahun Yang Ke-80 Yang DiPertua Negeri. Tahniah, Yang Berhormat Datuk Salahuddin bin Ayub.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, dukacita dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Datuk Hajah Sabariah binti Ahmad, yang telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Jorak mulai 22 April 1982 hingga 21 Julai 1986 dan juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan mulai 3 Ogos 1986 hingga 9 Disember 1999 telah kembali ke rahmatullah pada 19 April 2018.

Dukacita juga dimaklumkan bahawa, Yang Berhormat Tuan Haji Muntaha bin Kailan, ini cikgu sayalah ini, yang telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Parit Raja mulai 21 Oktober 1990 hingga 10 November 1999 telah kembali ke rahmatullah pada 17 Mei 2018.

Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Datuk Hajah Sabariah binti Ahmad dan Allahyarham Tuan Haji Muntaha bin Kailan dan marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarhamah dan Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bagi yang Islam marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah dan bukan Islam kita bertafakur sebentar. Al-Fatihah. (Berdiri).

Menjalankan Kerja Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negeri

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekarang kita akan menjalankan kerja mengangkat sumpah Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri Kawasan Kukup.

Jurutulis

Dijemput Yang Berhormat Datuk Md. Othman bin Yusof.

Bismillahirahmaanirrahim. Wallahi Wabillahi Watallahi. Bahawa adalah saya, Md. Othman bin Haji Yusof yang telah dipilih menjadi seorang Ahli Dewan Negeri atau Legislative Assembly bagi negeri Johor dengan sesungguhnya berikrar dengan iman bahawa saya mengaku akan menyempurnakan kewajipan saya dengan tulus ikhlas sebagai seorang Ahli Dewan Negeri atau Legislative Assembly yang tersebut itu. Dan, saya bersumpah dan mengaku akan memelihara, mengawal dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor. Barang ditolongi Allah akan saya. Terima kasih.

Pembentangan Kertas Mesyuarat.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 12 hingga 14 Bagi Tahun 2018.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya bagi pihak YB Tuan Haji Aminolhuda bin Haji Hassan mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 15 Tahun 2018.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 16 Tahun 2018 dan bagi pihak YB Tuan Haji Aminolhuda bin Haji Hassan, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 17 dan 18 Tahun 2018.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Speaker

Sebelum masuk ke soalan lisan ni, saya jemput jurugambar yang ada permintaan untuk masuk ke Dewan ini lebih kurang 5 minit untuk ambil gambar kita semua. Dipersilakan, tapi majlis kita terus berjalan ya.

Saya teruskan Yang Berhormat Tangkak dijemput untuk soalan lisan.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Tuan Speaker, selamat pagi. Soalan saya nombor 1.

Sejauh manakah janji-janji dalam Manifesto Kerajaan Negeri yang telah ditunaikan dan bagi yang belum ditunai, apakah kekangan atau halangan yang dihadapi sekarang.

Speaker

Yang Berhormat Rengit, jemput.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 2.

Minta kerajaan PH Johor mengemukakan 10 inisiatif baru yang telah dilaksanakan sama ada yang dinyatakan dalam Manifesto PH dalam PRU-14 atau langkah-langkah affirmatif membantu rakyat Johor.

Speaker

Yang Berhormat Panti, jemput.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 3.

Minta dinyatakan komitmen kerajaan serta mekanisme pelaksanaan bagi setiap janji manifesto 100 hari dan 5 tahun kerajaan Pakatan Harapan dalam PRU-14 yang lalu.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera semua. Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya untuk menjawab soalan ADUN Rengit, ADUN Panti dan ADUN Tangkak secara bersekali.

Alhamdulillah di dalam Dewan yang mulia ini, saya serta barisan saf kepimpinan kerajaan baru merafakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya, Pakatan Harapan telah berjaya mencipta sejarah membentuk kerajaan negeri yang baru buat kali pertama sejak kita mencapai kemerdekaan.

Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan sekalian, Manifesto 10 Janji 100 Hari yang ditawarkan telah dikaji dengan teliti sebelum diwar-warkan bagi memenuhi kehendak rakyat.

Pada peringkat 100 hari, kerajaan negeri telah melaksanakan insentif-insentif untuk rakyat Johor. Inisiatif-inisiatif tersebut adalah seperti berikut:

1. Menghadkan tempoh jawatan Menteri Besar Johor kepada 2 penggal sahaja. Ini sudah pun dilaksanakan. Tempoh kedua penggal adalah satu jangka masa yang matang bagi sebuah kerajaan dalam merancang dasar-dasar baharu negeri serta melaksanakan segala perancangan berdasarkan keperluan rakyat. Inisiatif ini adalah cara terbaik untuk mempastikan ketelusan pentadbiran di negeri ini sentiasa terjamin serta idea baru dalam memenuhi harapan rakyat dapat ditunaikan.

Selepas kepimpinan itu, kesinambungan kepimpinan yang telus dan cekap dapat direncanakan oleh pemimpin Pakatan Harapan dalam mentadbir negeri, seterusnya membangun Johor sebagai negeri yang dinamik dan maju.

2. Sistem tender terbuka. Ini dapat membuka peluang sama rata kepada semua pihak dalam mendapatkan projek ataupun kerja-kerja kerajaan. Inisiatif ini akan dapat menjimatkan kos kerja kerana tender terbuka akan mewujudkan persaingan sihat di kalangan kontraktor-kontraktor dengan masing-masing akan menawarkan harga yang paling munasabah, logik dan bersesuaian dengan kerja yang ditawarkan. Pemilihan kontraktor tempatan yang berkaliber dapat menjana ekonomi Johor dengan memberi peluang kerjaya dengan anak muda Johor. Inisiatif ini telah bermula pada bulan Julai, melibatkan semua jabatan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta badan berkanun negeri.

3. Penghapusan kuota menegakkan kerajaan dalam pengagihan rumah mampu milik. Sudah menjadi harapan semua rakyat Johor untuk memiliki rumah mampu milik. Namun demikian, di bawah pentadbiran terdahulu kita mendapati pengagihannya dilakukan secara kurang adil melalui sistem kuota menegakkan kerajaan atau KMK. Sistem ini memberikan hampir 30% daripada jumlah rumah mampu milik di sesebuah kawasan kepada ketua-ketua parti kerajaan terdahulu. Ia kemudiannya diagihkan kepada penyokong-penyokong mereka melalui sistem ini. Ini adalah suatu yang tidak adil memandangkan setiap bangsa Johor yang berkelayakan perlu diberi peluang sama rata untuk memiliki kediaman sendiri.

Justeru itu Kerajaan Negeri yang baharu memutuskan untuk menghapuskan Sistem KMK ini. Pengagihan rumah mampu milik akan dilakukan dengan secara telus dan saksama kepada semua yang berkelayakan tanpa mengira latar belakang ideo politik mereka.

4. Diskaun 50% tunggakan sewa PPR, Projek Perumahan Rakyat. Kerajaan Negeri peka dengan memahami masalah rakyat Johor yang kurang berkemampuan untuk membayar tunggakan sewa rumah projek perumahan rakyat yang mereka diami. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita telah bersetuju untuk memberikan pengecualian 50% bagi bayaran keseluruhan tunggakan sewa PPR itu. Kerajaan Negeri akan membayar secara one-off kepada sebanyak RM651,000.00 hanya untuk 2018 sahaja. Membabitkan sebahagian penduduk PPR yang terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar, asnaf dan fakir serta pesakit kronik. Dianggarkan seramai 2,500 orang penyewa iaitu 30% daripada keseluruhan jumlah penyewa PPR di negeri ini akan menerima faedah daripada inisiatif ini. Diskaun 50% tunggakan sewa PPR hanya melibatkan tunggakan hingga Jun 2018. Permohonan diskaun ini dibuka sehingga bulan Ogos 2018. Pemohon bolehlah melayari portal www.erumah.gov.my untuk mendapatkan borang permohonan.

5. Pemberian air percuma 10 meter padu kepada golongan sasar. Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti seramai 229,307 golongan sasar dari kategori B40 layak menerima inisiatif ini yang akan mula dilaksanakan pada

1 September 2018. Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM22.02 juta dalam melaksanakan inisiatif ini. Insentif air percuma ini diberikan secara automatik kepada pemegang akaun SAJ Ranhill yang menerima BRIM. Penerima insentif yang menyewa boleh mendapatkan borang permohonan di Pejabat SAJ Ranhill yang berhampiran.

6. Insentif Harapan Siswa.

Ini adalah insentif bantuan kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) anak Johor

sebanyak RM1,000.00 kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda, manakala bantuan

RM500.00 kepada pelajar Diploma. Saya sedia maklum, inisiatif ini turut dilaksanakan

oleh kerajaan terdahulu, namun seperti yang saya jelaskan sebelum ini, Kerajaan

Pakatan Harapan bukan sahaja akan meneruskan perkara ini, tetapi turut

menambahbaikan.

Jika sebelum ini bantuan kemasukan IPT bagi Ijazah Sarjana Muda adalah RM750.00, tetapi kini Kerajaan Pakatan Harapan telah bermurah hati untuk menaikkan kepada RM1,000.00. Kerajaan juga tidak menghadkan kepada permohonan pelajar IPTA seperti kerajaan yang lepas. Pelajar Daripada IPTS terpilih juga layak memohon. Kita juga telah melonggarkan syarat permohonan dengan mengambil kira jumlah tanggungan anak-anak pemohon yang masih bersekolah ataupun belajar. Permohonan insentif ini dibuka bermula 3 Julai yang lepas iaitu 3 Julai 2018, dan pemohon boleh melayari portal www.ypj.gov.my untuk mendapatkan borang permohonan.

7. Skim Takaful Warga Emas Negeri Johor. Sebagai kerajaan yang prihatin dengan kebajikan rakyat, kerajaan negeri akan menyumbang RM1,000.00 kepada waris warga emas yang meninggal dunia dan telah berdaftar. Inisiatif ini memfokuskan bantuan kepada keluarga yang mempunyai warga emas berumur 60 tahun ke atas, dikategorikan dalam golongan D40 serta lahir atau bermastautin lebih 5 tahun di negeri Johor. Melalui inisiatif ini kerajaan negeri memperuntukkan RM560,000.00 pada tahun ini membabitkan 11,200 penerima. Majlis Pelancaran Kad ini sudah pun dilaksanakan pada 5 Ogos yang lalu di Parit Yaani, Batu Pahat. Saya sendiri yang melancarkannya. Pemohon bolehlah mendapatkan borang permohonan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat di DUN masing-masing.

8. Pengecualian bayaran lesen penjaja Pihak Berkuasa Tempatan. Inisiatif ini baru sahaja saya lancarkan pada malam tadi di Bazar Karat Johor Bahru. Saya mendapat respond amat positif daripada para peniaga di Johor Bahru malam tadi. Dalam membantu meringankan beban penjaja di negeri ini, sejumlah 21,127 penjaja daripada 16 Pihak Berkuasa Tempatan akan menerima kemudahan ini. Mengambil kira kehilangan keuntungan kepada PBT, Kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM2.11 juta dalam bentuk Geran Kesinambungan kepada PBT bagi menampung pengurangan hasil kerajaan setelah inisiatif ini dilaksanakan.

Usaha ini bagi menggalakkan rakyat Johor untuk berniaga secara kecil-kecilan dan menampung kos sara hidup yang tinggi. Pengecualian bayaran lesen penjaja ini melibatkan aktiviti perniagaan di pasar malam, pasar pagi, penjaja bergerak serta penjaja statik. Bagaimanapun bayaran-bayaran ini tetap dikenakan seperti bayaran sewa tapak, bayaran proses permohonan lesen, caj pelupusan sampah dan sebagainya adalah dikekalkan tertakluk kepada PBT masing-masing. Tarikh perlaksanaan inisiatif ini akan bermula pada 1 September 2018.

9. Kad Sihat Johor Bagi Golongan B40. Di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baru ini kita juga mengambil tanggungjawab untuk mempastikan semua golongan terbela. Melalui inisiatif Kad Sihat Johor, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.2 juta bagi perlaksanaan skim ini. Buat permulaan kerajaan negeri menyasarkan pemberian kad sihat ini

kepada 4,000 orang penerima di bawah e-kasih. Pemberian kemudahan ini diberi secara purata bagi tempoh bermula Ogos sehingga Disember 2018 iaitu sebanyak RM250.00 bagi setiap keluarga dan caj pengurusan sebanyak RM50.00 bagi setiap kad yang dikeluarkan. Permohonan program Kad Sihat akan dibuka pada 1 September 2018 juga.

10. Insentif Kursus Perkahwinan Percuma. Insentif ini akan diberi kepada pasangan yang akan berkahwin untuk kali pertama. Jadi, jika ada kalangan Yang Berhormat sekalian berhasrat untuk tambah cawangan lagi, tidak layak untuk mendapat insentif ini. Bantuan ini secara tidak langsung akan meringankan beban bakal pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan. Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.44 juta bagi memanfaatkan 12,000 orang pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga dalam masa setahun. Pemohon boleh hadir ke Pejabat Kadi Daerah mula 1 September 2018 bagi memohon bantuan insentif kursus perkahwinan ini. Boleh disimpulkan di sini kerajaan negeri amat komited di dalam mempastikan setiap aku janji yang telah dinyatakan menerusi manifesto 100 hari dan 5 tahun dapat diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan dan dinikmati oleh Bangsa Johor. Setakat ini bagi manifesto 100 hari sebanyak 7 daripada 10 inisiatif manifesto kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan telah pun dilaksanakan.

Hanya 3 inisiatif yang telah diputuskan mekanisme perlaksanaannya oleh kerajaan negeri akan dilaksanakan pada 1 September 2018. Ini di atas kesesuaian proses perlaksanaannya. Inisiatif-inisiatif ini adalah iaitu pengecualian lesen penjaja, pemberian air percuma 10 meter padu pada kategori D40 dan bayaran kursus perkahwinan percuma berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Janji-janji yang ditunaikan ini membuktikan bahawa ia bukan cakap-cakap, omong-omong kosong sahaja. Semata-mata untuk meraih sokongan memenangi pilihan raya tetapi kami benar-benar berkhidmat untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan Bangsa Johor.

Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita mempunyai satu misi dan visi yang jelas untuk mempastikan setiap keputusan yang diambil akan memberi manfaat kepada rakyat. Kami juga komited dalam menunaikan manifesto 5 tahun yang telah ditetapkan di mana kaedah perlaksanaannya sedang dirangka untuk mempastikan kesan limpahan manfaat yang berkesan.

Speaker

Minta maaf, minta maaf. Daripada Rengit dulu. Minta maaf, sorry. Dia kena dahulukan yang bertanya. Minta maaf.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya Yang Berhormat Tuan Speaker. Tapi sebelum saya mulakan soalan tambahan ini elok atau manis saya utamanya nak ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Speaker di atas pelantikan Tuan Speaker, yang keduanya kepada Yang Amat Berhormat Kempas di atas pelantikan Yang Amat Berhormat Kempas sebagai Menteri Besar dan yang ketiga kepada barisan EXCO yang baru serta kepada semua Ahli Dewan Negeri yang baru dipilih bagi penggal ke-14 ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih atas jawapan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tadi tapi saya tak nak bertanya soalan yang berkaitan dengan 10 peringkat janji 100 hari, yang disebut tadi 10 meter air padu percuma, Kad Sihat Johor Inisiatif, harapan untuk IPTA, kursus kahwin percuma, hapuskan kuota KMK ya. MB 2 penggal, pemberian lesen percuma, sistem tender terbuka, lesen penjaja tempatan, skim takaful dan sebagainya. Saya lebih tertarik kepada soalan yang berkaitan dengan peringkat 5 tahun yang tadi hanya disebut secara sikit sahaja oleh Yang Amat Berhormat. Saya nak ulas balik dalam peringkat 5 tahun manifesto yang diumumkan atau diwar-warkan oleh Pakatan Harapan dia ada sebut mengembalikan Biasiswa Johor, mengujudkan Universiti Johor. sediakan 200,000 peluang pekerjaan, bina 100 unit Rumah Mampu Milik Johor, Skim Sewa Beli RMJ, menyediakan tapak untuk SJKC Cina dan SKJC Tamil walaupun tak

disebutkan tapak untuk sekolah Tahfiz. Hak milik 99 tahun Kampung Melayu dan Kampung Tradisi dan Kampung Bahru memperbaiki kualiti dan rangkaian perkhidmatan dan Wilayah Koridor Baru.

Saya cuma nak soal ni yang 100 hari nampak berjalan dan kita ucap tahniah. Yang saya nak sebutkan 5 tahun punya perancangan yang dijanjikan. Antara yang saya nak sebut ialah bina 100 unit Rumah Mampu Milik Johor. 100,000, 100,000 Rumah Mampu Milik Johor. Kerajaan BN dalam pembentangan Bajet November 2017 bagi Bajet 2018 kita umumkan 100,000 unit. Pakatan Harapan dalam manifesto pada April 2018 umumkan juga 100,000 tak ada kurang satu pun BN dalam Bajet 100,000 unit, Pakatan Harapan dalam manifesto 100,000. Tak apalah benda yang baik seperti titah Tuanku jalankan, laksanakan kita akan sokong, tak ada masalah. Cuma persoalannya saya, ingat saya nak tanya kepada Yang Amat Berhormat, figure ini. Adakah menggunakan asas perancangan yang telah dibuat oleh BN Barisan Nasional atau ada angka baru 100,000. Kalau 100,000 campur 100,000, 200,000, ini satu kebaikan untuk rakyat Johor atau kerajaan Pakatan Harapan ini akan selaraskan, sebab kita dah siapkan lebih kurang 19,000 unit rumah pada tahun, pada Mei 2018. Itu belum masuk komitmen yang lain yang dah dipersetujui oleh GLC, yang dah dipersetujui oleh pemaju swasta kalau campur semua sekali lebih daripada 30,000. Jadi, saya nak dapatkan soalan tambahan saya ialah adakah Yang Amat Berhormat menggunakan perancangan yang dah ada atau ada figure baru yang dijanjikan, diuar-uarkan dalam manifesto barisan sebab kita dah siapkan lebih kurang 20,000...

Speaker

Saya kira jelaslah tu soalan tu.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Soalan saya itulah. Menggunakan figure yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional atau figure 100,000 yang baru? Soalan saya.

Speaker

Walaupun panjang itu aje soalannya....

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Itu sahaja Tuan Speaker.

Speaker

Ok, Yang Amat Berhormat, silakan. Saya tak tahu tadi ke mana soalan. Hujung aje baru soalan. Ok, silakan.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Terima kasih ADUN Rengit, sahabat lama saya. Sangat lebih kurang sama juga kedudukan, 4 penggal, 4 penggal. Cuma dia duduk sana saya duduk sini.

Speaker

Kuat sikit Yang Berhormat tak berapa jelas. Kuat sikit tak berapa jelas. Kuat sikit.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Saya, pada awalnya sudah berkata di mana-mana sekalipun, mana yang baik kita akan teruskan. Mana yang kurang baik kita akan teruskan juga tetapi kita akan tambah baik. Serupa juga dalam soal sebagaimana Yang Berhormat katakan tadi, pada bulan Mei kerajaan yang lepas telah pun apa menyediakan 19,000 unit Rumah Mampu Milik. Itu tahun 2018, kita pun ambil kerajaan ini pada 2018. Bermakna dalam tempoh 5 tahun sehinggalah 2023 ya, 2023 bermakna 5 tahunlah. Pada saya tidak menjadi masalah. Yang mustahaknya, dalam tempoh 5 tahun bermula 2018, kiranya alhamdulillah mudah-mudahan kita dapat merealisasikan agar Manifesto kita 5 tahun itu untuk mendirikan rumah 100,000 rumah mampu milik saya rasa sudah menjadi satu perkara yang amat baik. Jadi, kalau ditolak 19,000, bermakna 91,000 kita akan bina pun tak apa. Jawapan saya, bermakna kesinambungan yang baik bermakna tak adalah tambahan sebagaimana yang dinyatakan tadi 100,000 campur 100,000 sedangkan Yang Berhormat tadi kata baru 19,000. Bermakna, sedangkan dalam tempoh hari ini pun selain daripada rumah mampu milik, kita juga ada menyediakan rumah-rumah PPR dan juga rumah-rumah yang agak mahal. Jadi, kalau dalam keadaan 2, 3 tahun yang akan datang ini mereka yang pada awalnya ingin membeli rumah mampu milik, alih-alih dia mempunyai keupayaan untuk membeli rumah yang lebih daripada mampu milik, kita juga akan memberikan tawaran. Tetapi target kita

ialah untuk kita membina sekurang-kurangnya 100,000 rumah. Ini akan kita realisasikan dan insya-Allah.

Selain daripada itu, untuk tempoh jangka masa yang 100 hari, yang pendek ini saya rasa kita sudah berkemampuan sebagaimana yang saya nyatakan tadi tentang tawaran 10 bagi 100 hari. Tidak menjadi masalah kalau tempoh 5 tahun yang akan datang ini yang masanya begitu panjang banyak perkara-perkara lain juga saya yakin dan mempunyai penuh harapan, keyakinan, kerajaan Pakatan Harapan juga akan memenuhi segala tawaran-tawaran yang telah pun tertulis di dalam Manifesto untuk kita kotakan segala janji itu. Insya-Allah. Tapi dengan satu jangan banyak sangat komen, tapi bagilah sokongan secara moral pada kita. Kadang-kadang benda belum sampai 100 hari dah banyak cakap itu, cakap ini. Kalau kita tanam pokok ubi pun nak tunggu 3 bulan baru dapat ubi dia, itu yang paling cepat. Apa entah lagi nak tanam pokok kelapa sawit tunggu juga berapa tahun, betul tak? Jadi, sabar, sabar. Terima kasih.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Panti.

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat Kempas, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, di atas jawapan yang telah dinyatakan sebentar tadi. Pertama, saya nyatakan bahawa ini adalah penggal pertama saya sebagai Wakil Rakyat dan saya, saya rasa, saya berbesar hati, pada hari pertama bersidang, soalan saya naik untuk dijawab oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, yang telah dinyatakan tadi ada 4 penggal, berpengalaman luas dan daripada pandangan saya, soalan yang saya akan nyatakan selepas ini saya rasa tidak ada masalah untuk beliau jawab.

Soalan tambahan saya, saya nak minta untuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menyatakan dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk 5 tahun ada disebut untuk memperuntukkan 200,000 pekerjaan kepada rakyat Johor dan saya minta supaya Yang Amat Berhormat nyatakan bagaimana perkara itu dapat dilaksanakan kerana setelah mengambil alih pentadbiran, ada beberapa projek besar yang banyak menyumbang kepada peluang pekerjaan tersebut yang telah, sama ada ditangguhkan ataupun dibatalkan antaranya HSRL dan yang paling terkesan adalah satu Projek Johor Eco Park yang berada di dalam Parlimen yang sama dengan DUN saya iaitu Parlimen Tenggara di Kulai. So, saya minta untuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyatakan bagaimana perkara ini dapat direalisasikan supaya ia dapat memberi kebaikan khususnya kepada penduduk-penduduk di negeri Johor dan umumnya pada semua untuk kita sama-sama membantu membangunkan Johor. Terima kasih.

Speaker

Ok, Terima kasih.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Terima kasih Yang Berhormat Panti. Yang Berhormat Panti baru sepenggal ye. Tahniahlah saya ucapkan kerana dapat menjadi YB.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita sebenarnya bukan sahaja merancang untuk mengadakan pekerjaan sebanyak 200,000. Itu target kita, mungkin lebih, mungkin lebih, kalau lebih itu bonus. Tapi kita berusaha sedaya upaya.

Kita lihat pada hari ini, banyak projek-projek mega yang sedang berjalan dengan lancar, saya mengambil contoh seperti di RAPID Pengerang. Pada peringkat fasa pertama dan akan disambung fasa kedua dan fasa ketiga, baru-baru ini saya melawat ke sana. Tempat ini sahaja memerlukan pekerjaan tidak kurang daripada 70,000. Ini tidak termasuk juga pembangunan di persekitaran Bandaraya Johor Bahru di mana pembangunan hotel 5 bintang dan juga tempat-tempat riadah seperti padang-padang golf dan juga perniagaan-perniagaan skala besar dan kecil seperti di Forest City dan sebagainya ini memerlukan peluang pekerjaan yang cukup banyak. Saya rasa peluang pekerjaan untuk kita mencapai

200,000 ini pun satu angka yang kecil, kita boleh lebih daripada ini, insya-Allah. Apatah lagi dalam kita merancang dan juga akan melaksanakan beberapa pendekatan yang baru untuk membangunkan negeri Johor ini contohnya dalam bidang sektor pertanian, perikanan dan sebagainya dengan cara yang moden juga akan memberikan peluang pekerjaan yang banyak kepada anak-anak bangsa Johor ini akan datang.

Selain daripada itu, sebagaimana Yang Berhormat daripada Panti nyatakan tadi projek-projek yang dihentikan seperti HSRL dan juga Eco Park dan sebagainya. Sebenarnya, projek ini tidak dihentikan, kita masih lagi meneliti tentang beberapa perkara seperti harga yang dahulunya diletakkan oleh kerajaan yang lalu itu terlampau tinggi. Kita memerlukan sedikit masa untuk memperhalusi dan juga membuat kajian yang terperinci. Sebagaimana yang saya katakan tadi, kalau projek yang memberikan manfaat dan impak ekonomi yang baik kepada kerajaan negeri dan juga negara, kita tidak ada masalah untuk meneruskannya tetapi perlu membuat kajian. Begitu juga projek-projek yang ada pada hari ini bukan sahaja 2 projek ini juga perlu dibuat kajian. Kadang-kadang kita tengok projek-projek yang lepas ini banyak sangat direct nego, semua kroni dibagi jadi yang bukan kroni duduk di luar, gigit jari sahaja. Ini tak adil. Kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang kita menitikberatkan soal keadilan, sama rata. Jadi kita tidak berhasrat dan berniat untuk membatalkan projek tetapi kita hanya menangguhkan, berilah peluang dan masa untuk kita membuat kajian terperinci bagi kalau benda yang bagus kita akan laksanakan dengan sebaik mungkin untuk manfaat rakyat dan juga negeri. Terima kasih.

Speaker

Jementah.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Terima kasih Tuan Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga pimpinan EXCO Pakatan Harapan yang baru ini, yang menerajui kerajaan negeri Johor.

Soalan saya, adalah berkenaan dengan Menteri Besar, jawatan Menteri Besar untuk 2 penggal, yang dihadkan untuk 2 penggal. Jementah ingin mengetahui sama adakah kerajaan dan pimpinan EXCO akan mengadakan satu pemindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor untuk masukkan satu clause atau...

Speaker

Yang Berhormat, pandang saya, bukan pandang sana.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Maaf. Untuk memasukkan satu clause dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor untuk mengehadkan jawatan Menteri Besar tidak lebih daripada 2 penggal seperti yang dinyatakan dalam Manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya yang baru diadakan ini. Saya mohon satu penjelasan. Terima kasih.

Speaker

Sila Yang Amat Berhormat.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Terima kasih Yang Berhormat Jementah. Sebenarnya, dalam soal selama mana seseorang Menteri Besar itu atau calon Menteri Besar yang akan datang ini untuk dihadkan tidak ada tertulis di dalam Perlembagaan. Boleh jadi 4 penggal, 5 penggal ataupun lebih daripada itu selagi bukan sahaja yang mempunyai diri itu mampu untuk memikul segala tanggungjawab yang agak berat tetapi juga parti memberikan kesediaan kepada seseorang calon itu sama ada layak atau tidak. Itu sebab kita tidak mahu melihat kalau seseorang itu memegang lebih daripada 2 penggal mungkin banyak perkara-perkara seperti bukan sahaja dari segi kemampuan fizikal dia, kerana kerja sebagai seorang Menteri Besar ini 24 jam 1 hari, 7 hari 1 minggu, 30 hari 1 bulan, memikirkan berbagai-bagai bukan sahaja dalam soal nak merealisasikan 100,000 rumah RMMJ, nak menjaga kewangan, nak menjaga macam-macam. Jadi, mungkin kalau lebih daripada 2 penggal secara fizikalnya juga pemikiran kurang mampu...

Speaker

Kalau sihat, Yang Amat Berhormat?

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Kalau sihat, saya rasa itu sebablah kerajaan Pakatan Harapan memikirkan daripada berbagai-bagai penjuru dalam soal kita ni sebagai seorang manusia, kemampuan diri kita.

Yang keduanya, bukan sahaja itu, mungkin kalau terlampau lama sangat banyak elemen-elemen yang boleh memudaratkan negara, rasuahlah, itulah, ini, macam-macam, sebab dah tepu duduk kat situ barangkali. Jadi, itu sebab kerajaan Pakatan Harapan ini sebelum membuat manifesto seperti ini memikirkan, saya rasa Yang Berbahagia Tuan Speaker pun sama-sama dulu membuat manifesto ini, dalam committee. Jadi, berbagai-bagai pemikiran yang realistik kita tumpukan dalam soal-soal untuk membentuk manifesto ini.

Saya rasa, kalau umpamanya untuk diubah, kurang daripada 2 penggal dan sebagainya itu terpulanglah kepada Dewan. Kalau betul nak diubahkan menjadikan satu Undang-Undang, itu kena bawa dalam Dewan nak dihadkan 2 penggal ke atau tak melebihi 5 penggal ke ataupun lebih daripada itu terpulang kepada Dewan. Jadi, itu jawapan saya. Terima kasih.

Speaker

Bukit Permai.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Terima kasih YB Tuan Speaker. Yang pertama, saya ingin nak mengucapkan tahniah kerana kerajaan telah mengadakan sistem tender terbuka untuk semua tender-tender. Saya cuma nak menarik perhatian kepada Dewan.

Speaker

Mic tu...

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Terima kasih Tuan Speaker.

Speaker

Mic yang depan tu tak boleh pakai Yang Berhormat?

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Ini Senai punya, saya tak mahu kacau orang punya. Pertama-tama, saya nak mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mengadakan satu sistem tender terbuka. Apa yang lebih penting di sini ialah yang pertama, saya nak mengatakan bahawa sistem tender terbuka ini juga akan gagal mencapai matlamatnya. Saya nak mengusulkan kepada Dewan yang mulia ini, Tuan Speaker, supaya mana-mana tender sama ada tender itu dibuat oleh kerajaan negeri, pada jabatan-jabatan seperti JKR ataupun semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri, supaya jangan ada satu sistem konsesi dia bagi.

Speaker

Soalannya apa Yang Berhormat?

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Kalau boleh, sistem tender terbuka ini dipastikan, supaya semua sistem tender terbuka ini jangan ada kerja-kerja tender ini dia bagi kepada konsesi-konsesi yang berkenaan dalam semua jabatan kerajaan ataupun Pihak Berkuasa Tempatan. Ini cadangan saya kepada Dewan Negeri.

Speaker

Soalannya?

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Soalannya, supaya jangan ada sistem konsesi dia bagi...

Speaker

Itu pernyataan, soalan dia apa?

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Soalan dia, adakah sekarang ini sistem konsesi ini diadakan...

Speaker

Haa itu dia soalan.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Dalam mana-mana kita punya tender terbuka kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan. Terima kasih Tuan Speaker.

Speaker

Sila Yang Amat Berhormat.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Permai. Orang lama pernah duduk dalam Dewan, 20 tahun dulu, hari ini balik semula ke dalam Dewan. Tahniah Yang Berhormat Bukit Permai.

Saya ingin menjelaskan di sini sistem tender terbuka ini bukan hanya dilaksanakan di negeri Johor dan juga kepada PBT serta GLC-GLC, Government Link Company di Johor ini, tetapi juga akan dilaksanakan dan juga sudah pun dilaksanakan di peringkat Persekutuan juga. Bermakna ini juga manifesto yang tercatit untuk 5 tahun kerajaan Pakatan Harapan di peringkat negeri dan juga persekutuan.

Berkenaan dengan tender yang dinyatakan oleh YB Bukit Permai tadi tidak diberikan kepada konsesi. Sebenarnya dalam perjanjian-perjanjian konsesi yang lepas yang dibuat oleh kerajaan lalu, memang di sini juga walaupun dipegang oleh satu-satu syarikat tetapi di bawah konsesi, syarikat konsesi ini juga dia mengadakan juga tender-tender di bawahannya untuk kerja-kerja kecil dan sebagainya. Tetapi sebagaimana yang diinginkan oleh Yang Berhormat Bukit Permai tadi, kerajaan sedia menimbang dan juga mengkaji supaya kerja-kerja tidak hanya diberikan kepada sesebuah syarikat yang besar untuk monopoli sesuatu kerja. Mungkin sama ada besar dan kecil juga, kita akan membuka secara tender kerja-kerja itu dan kita lihat balik untuk buat kajian, kalau ada perjanjian kepada syarikat konsesi ini yang masih lagi, masih lagi valid, dia akan teruskan, tetapi kalau sudah sampai masanya untuk tamat, maka selepas tamat nanti. Kita kerajaan negeri akan membuat kajian dan melihat sejauh manakah keberkesanan dan juga impak sama ada lebih yang baik atau lebih yang buruk, maka yang baiklah kita akan menggunakan cara itu untuk di masa-masa yang akan datang. Terima kasih.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Bukit Permai mengucapkan terima kasih Tuan Speaker. Janji kerajaan.

Speaker

Saya kira selesai soalan ini, saya teruskan kepada soalan yang seterusnya Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 4, terima kasih.

Sejauh manakah janji-janji dalam Manifesto Kerajaan Negeri yang telah ditunaikan dan bagi yang belum ditunai, apakah kekangan atau halangan yang dihadapi sekarang.

Speaker

Yang Berhormat Serom, jemput.

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 5.

Apakah status terkini tawaran skim sewa & milik untuk perumahan mampu milik untuk rakyat negeri Johor?

Speaker

Silakan.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memohon untuk menjawab soalan YB Stulang dan YB Serom secara bersekali.

Untuk makluman Yang Berhormat pada ucapan bajet tahun 2017, kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk membeli projek-projek perumahan bagi

tujuan ditawarkan kepada mereka yang layak melalui skim sewabeli. Program tersebut diteruskan menerusi ucapan bajet tahun 2018 oleh Yang Amat Berhormat Mantan Menteri Besar Johor, dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM30 juta dan ditawarkan kepada kumpulan sasaran melalui Skim Sewabeli Jauhar Prihatin.

Majlis Mesyuarat Johor melalui di mesyuaratnya pada 30 Ogos 2017 telah menimbangkan Ringkasan Mesyuarat Bilangan Perkara-Perkara Lain iaitu kertas bilangan 2 dalam fail SUKJ.SSJ.202/1/28 dan telah mengambil keputusan iaitu di bawah perkara 59.4.3, “Majlis seterusnya bersetuju supaya senarai hartanah seperti di Lampiran 2 dimasukkan ke dalam Program Jauhar Prihatin yang akan dilancarkan semasa Ekspo Johor Berkemajuan. Senarai hartanah sebagaimana di Lampiran 2 yang saya sebutkan tadi adalah meliputi 20 lokasi dengan jumlah hartanah kediaman sebanyak 3,207 unit.

Program skim sewabeli di bawah Jauhar Prihatin ini seterusnya dilancarkan oleh Mantan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 13 Oktober 2017 di Program Ekspo Johor Berkemajuan 2017 bertempat di Kota Iskandar Johor. Syarikat Generasi Takzim Sdn. Bhd. ialah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor yang telah diberikan mandat oleh Yang Amat Berhormat Mantan Menteri Besar Johor untuk menjadi pelaksana bagi mengendalikan Program Jauhar Prihatin ini.

Melalui skim ini, setiap peserta yang layak memiliki rumah dengan kaedah-kaedah sewabeli bagi tempoh maksimum 5 tahun. Bayaran sewa bulanan pula dibahagikan kepada 3 kategori dan sebahagian bayaran tersebut adalah bagi tujuan simpanan yang akan diperoleh kembali apabila tamat tempoh penyewaan di antara 2 hingga 5 tahun. Simpanan tersebut boleh digunakan oleh peserta sebagai bayaran pendahuluan harga rumah untuk tujuan pembelian rumah tersebut selepas tamat tempoh penyewaan. Selepas tamat tempoh penyewaan antara 2 hingga 5 tahun, peserta akan ditawarkan perjanjian jual beli bagi membeli hartanah tersebut dan perlu mendapatkan sumber kewangan lain bagi menjelaskan baki harga rumah tersebut.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI) dikehendaki untuk memperincikan semula jumlah rumah yang akan dimasukkan ke dalam program ini dan ianya boleh ditambah dan dari semasa ke semasa tertakluk kepada pertimbangan selaras dengan Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan.

Untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini sejumlah 13,882 unit rumah telah dijadikan projek di bawah skim sewabeli. Walau bagaimanapun terdapat 8,459 unit projek sewabeli adalah di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan dan 5,423 unit adalah di bawah seliaan Generasi Takzim Sdn. Bhd. Senarai projek di bawah seliaan SUK Perumahan terletak di 56 lokasi yang meliputi jumlah 8,459 unit hartanah kediaman dengan 7,746 unit telah diisi dan masih berbaki 713 unit. Senarai projek di bawah seliaan Generasi Takzim Sdn. Bhd. pula adalah meliputi 19 lokasi yang meliputi jumlah keseluruhan 5,423 unit hartanah kediaman dan bilangan pemohon setakat ini 1,788 orang kerana sebahagian daripada projek perumahan tersebut masih belum dibuka untuk skim sewabeli. Itu sahaja Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Ok, Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, tahniah kepada pihak kerajaan kerana masih meneruskan skim rumah sewabeli ini. Yang Berhormat Tuan Speaker, sekiranya apakah cara, cara atau kaedah yang akan diambil oleh kerajaan sekiranya rumah-rumah sewabeli ini sebagai satu skim keistimewaan kepada rakyat Johor, rumah-rumah tersebut disewakan? Dan sekira, bagaimana cara nak mengenal pasti supaya perkara tersebut dapat dielakkan dan sekiranya terdapat juga rumah-rumah tersebut disewakan, apakah tindakan yang kerajaan ambil terhadap mereka-mereka yang mendapat skim sewabeli ini kepada rumah mereka disewa? Terima kasih.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih di atas soalan tambahan daripada Yang Berhormat Benut. Untuk skim sewabeli di bawah Jauhar Prihatin di bawah KPRJ, sepanjang tempoh 2 ke 5 tahun itu adalah dalam bentuk perjanjian sewaan. Dan, di dalam syarat-syarat sewaan tersebut akan nyatakan bahawa rumah tersebut tidak boleh disewakan kepada mana-mana penyewa lain sama ada penduduk tempatan, lagi-lagi daripada penduduk luar negara. Dan sekiranya ini berlaku, amaran akan diberikan kepada mereka, sehinggalah tahap kita boleh mengeluarkan mereka daripada skim sewabeli ini sebagai penyewa untuk tempoh 5 tahun pertama daripada meneruskan skim sewabeli untuk ditukar kepada perjanjian jual beli selepas daripada tempoh 5 tahun sewaan tersebut.

Speaker

Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Ya. Terima kasih Yang Berhormat dengan jawapan yang diberikan. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menolong rakyat yang memerlukan. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, untuk rumah sewabeli ini, skim sewabeli ini kebanyakan rumah adalah rumah yang lebih murah untuk golongan yang kurang berkemampuan. Adakah kerajaan berhasrat untuk memperluaskan skim sewabeli ini dengan kerjasama dengan syarikat-syarikat perumahan persendirian untuk rumah yang...

Speaker

Yang Berhormat, tanya tu saya. Tanya saya, tanya Speaker, bukan tanya EXCO tu. Hala kepada saya soalan tu.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

... untuk. Adakah kerajaan mempunyai hasrat untuk memperluaskan skim rumah sewabeli ini dengan bekerjasama dengan pihak swasta untuk rumah-rumah yang mungkin memberi harga mungkin RM100,000.00 ke, RM100,000.00 ke RM150,000.00 ataupun kurang daripada RM200,000.00, supaya mereka yang golongan pertengahan juga boleh, golongan pertengahan yang tidak boleh memiliki rumah mampu milik ataupun rumah sewa, tidak layak untuk sewabeli, boleh mendapatkan skim sewabeli ini dengan pihak swasta. Terima kasih.

Speaker

Sila.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih kepada YB Stulang di atas soalan tambahan. Memang menjadi hasrat kepada kerajaan negeri untuk memperluaskan skim sewabeli tetapi sekarang ini dia ada peringkat dengan izin, infant stage. Kita hanya memberikan penumpuan kepada senarai hartanah yang disenaraikan di bawah Jauhar Prihatin sahaja yang diperakukan di bawah skim sewabeli. Adalah menjadi harapan kita suatu hari nanti insya-Allah, mana-mana hartanah yang dipilih oleh rakyat negeri Johor boleh dimasukkan di bawah skim Jauhar Prihatin ini.

Yang kedua tentang penglibatan sektor swasta. Memang menjadi harapan kepada kerajaan, untuk memperluaskan skim sewabeli ini, melibatkan kerjasama dengan pihak pemaju. Tetapi kebiasaannya kekangan kepada pihak pemaju adalah dari segi kekuatan ekonomi kewangan mereka. Sebab skim ini tempoh dalam 2 ke 5 tahun, pulangan yang mereka akan dapat adalah dalam bentuk sewaan, berbanding kalau proses biasa mereka terus mendapat harga rumah tersebut dan ini akan dapat memperbaiki aliran tunai kepada syarikat pemaju perumahan tersebut. Mana-mana syarikat pemaju yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, kita pihak kerajaan sangat mengalu-alukan untuk turut serta dalam skim sewabeli ini bagi kita membantu rakyat khususnya yang menghadapi masalah kekuatan kewangan untuk memperolehi pinjaman daripada institusi kewangan. Kerana salah satu daripada tujuan skim sewabeli ini diwujudkan adalah untuk memberikan jalan alternatif kepada mereka yang gagal untuk mendapatkan kewangan ataupun pinjaman daripada syarikat kewangan komersil dan juga dalam masa yang sama, satu kaedah simpanan bagaimana 10% deposit itu boleh diadakan. Kerana kadangkala menyediakan 10% deposit ini juga merupakan satu cabaran kepada pembeli-pembeli rumah khususnya di kalangan mereka yang baru masuk dalam kerjaya pekerjaan. Dan, skim ini sebenarnya juga

boleh mencapai matlamat untuk menyediakan simpanan untuk menyediakan 10% deposit yang saya sebutkan tadi. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Ok, soalan seterusnya saya cuma ingin maklumkan bahawa setiap soalan lisan ini diikuti oleh soalan tambahan, saya akan beri peluang kepada yang menyoal itu dulu, yang soalannya yang naik itu yang akan diberi ruang untuk mengemukakan soalan tambahan, priority kepada mereka. Selepas itu kita bagi kepada yang lainlah. Itu satu peringatan saja ya. Seterusnya Yang Berhormat Semarang, jemput.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 6.

Mohon nyatakan apakah rancangan kerajaan negeri dan bilakah akan dijalankan usaha membanteras aktiviti judi haram di semua premis di negeri Johor yang menjadi salah satu masalah sosial di negeri ini.

Speaker

Yang Berhormat Perling.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan 7.

Mesin Kuda masih lagi satu isu yang serius, setakat ini, apakah status untuk tindakan yang telah dijalankan untuk membanteras aktiviti ini.

Speaker

Pekan Nanas.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Soalan saya nombor 8.

Mohon nyatakan apakah rancangan kerajaan negeri dan bilakah akan dijalankan usaha membanteras aktiviti judi haram di semua premis di negeri Johor yang menjadi salah satu masalah sosial di negeri ini.

Speaker

Sila Yang Berhormat EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Salam sejahtera, salam harapan saya ucapkan. Saya ingin memohon izin untuk menjawab soalan daripada Yang Berhormat Semarang, Yang Berhormat Perling dan Yang Berhormat Pekan Nenas secara bersekali. Ini merupakan kali pertama saya memberi jawapan di sini. Sebelum ni dah biasa bertanya di sebelah sana. Jadi kalau ada apa-apa...

Speaker

Jangan kekok pulak. Sekarang sudah jadi kerajaan. (Dewan ketawa)

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Kalau ada apa-apa yang kurang, mungkin harap Yang Berhormat Tuan speaker boleh memberi tunjuk ajar dan nasihat. (Dewan Ketawa).

Yang Berhormat Tuan Speaker, perjudian yang kian menular dan membimbangkan di negeri ini malah sebenarnya di peringkat nasional dapat dirujuk sebagai masalah disiplin sosial dalam kalangan masyarakat sehingga menjadi ranting jaringan jenayah dengan turut merangkumkan anasir seperti gengsterisme, dadah, pelacuran dan nombor ekor pasaran gelap. Jenayah yang bertapak sejak hampir dua dekad yang lalu telah berubah bentuk pendekatannya. Daripada sekadar mesin kuda, kini telah berselindung di sebalik capaian teknologi maklumat ataupun ICT. Melalui sindiket perjudian atas talian, ataupun dengan izin, online gaming, atau online gambling, minta maaf, dan berselindung di sebalik penjualan point nilai tambah atau dengan izin, top up point telefon bimbit. Konsisten dan komited dengan penentangan terhadap gejala yang kian membara ini, kerajaan negeri di bawah tampuk kepimpinan Pakatan Harapan akan menggandakan langkah yang telah dan bakal

diambil dalam menterjemah usaha melumpuhkan kegiatan perjudian haram di negeri Johor seperti yang berikut :-

1. Pemerdayaan atau dengan izin, empower jawatankuasa keselamatan daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dengan korum keanggotaannya oleh Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Polis Diraja Malaysia. Untuk menyelaras, mengatur strategi dan mempersiap anggota yang terlibat dalam sebarang langkah dan tindakan penguatkuasaan berlandaskan bidang kuasa masing-masing. Penambahbaikan jawatankuasa ini akan dilaksanakan bagi memastikan langkah yang diambil berkesan dan bersifat tuntas selain meletakkan faktor keselamatan anggota terlibat sentiasa terjamin.

2. Menerusi jawatankuasa berkenaan, kerajaan turut mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama strategi rentas agensi perkhidmatan atau utilliti seperti SAJ Ranhill Sdn. Bhd. dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui langkah-langkah sekatan bagi setiap punca perkhidmatan iaitu bekalan air dan elektrik di premis yang terlibat dengan kegiatan perjudian. Usaha ini dilihat dapat membantutkan operasi kegiatan ini dari berulang dan berterusan. Berbalik kepada perjudian atas talian pula, kerajaan turut melihat perlunya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bersama-sama mengekang dan menemukan langkah penyelesaian tuntas bagi kegiatan tersebut. Sebagaimana agensi perkhidmatan, penglibatan SKMM amat dialu-alukan bagi menjayakan usaha membanteras perjudian secara bersepadu dan menyeluruh.

3. Dan pada itu kerajaan negeri turut menyambut baik tindakan pihak PDRM menerusi pengumuman oleh Ketua Polis Negara yang menekankan tentang langkah-langkah penguat kuasa proaktif dan tegas dalam kalangan anggotanya bagi menjayakan usaha membanteras ini. Seiring dengan pengumuman tersebut, operasi secara bersepadu atau bersendirian oleh agensi berkaitan akan diaktifkan setiap hari dengan berteraskan moto ‘Tiada Hari Tanpa Ops’. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagai pencerahan bidang kuasa di peringkat kerajaan tempatan hanyalah terhad dalam ruang lingkup perlesenan yang secara langsung berkaitan dengan operasi pusat-pusat perjudian sahaja. Pihak Berkuasa Tempatan di serata negeri Johor melalui peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) telah turut sama menggerakkan operasi membanteras aktiviti tersebut walaupun, pada persepsi masyarakat umum gejala ataupun anasir negatif ini melibatkan kebanyakan dan sebahagian besar daripada bidang kuasa pihak Polis.

Speaker

Perling

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Kegiatan judi haram ini sebenarnya ada kalanya memang serius terutamanya telah mempengaruhi sosial kita dan saya beranggapan sebenarnya penguatkuasaan ataupun tangkapan terhadap pengusaha-pengusaha mesin kuda ni amatlah penting. Jadi saya ingin tahu Yang Berhormat Speaker, berapakah kes yang telah dituduh atau pun diambil tindakan oleh pihak penguat kuasa dalam selama beberapa bulan ni, tahun ini. Terima kasih.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih soalan daripada Yang Berhormat Perling. Yang Berhormat Tuan Speaker, seperti yang telah saya sebut tadi, bidang kuasa untuk membanteras gejala mesin judi ataupun perjudian online ini, dia lebih kepada agensi-agensi persekutuan terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia. Bagaimanapun Pihak Berkuasa Tempatan sebagai kerajaan pada peringkat akar umbi yang paling dekat dengan rakyat juga telah mengambil inisiatif atas kapasiti sendiri untuk membanteras gejala ini sebagai salah satu sumbangan yang boleh sama-sama kita memupuk kemurnian dan keharmonian di kalangan masyarakat. Antaranya, Pihak Berkuasa Tempatan ataupun Kerajaan Tempatan telah mengambil inisiatif proaktif menjalankan penguatkuasaan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan operasi ataupun urusan perjudian online ini dengan menggunakan Undang-Undang Kecil

PerlesenanTrade Perniagaan dan Industri. Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) merupakan antara PBT yang secara proaktif menguatkuasa Undang-Undang Kecil ini. Melalui satu operasi yang dinamakan Ops Casino Royale, telah membanteras aktiviti perjudian atas talian di kawasan pentadbirannya dengan sebanyak 2,665 tawaran kompaun telah dikeluarkan yang bernilai RM2.27 juta. Sebanyak 232 operasi yang melibatkan 240 premis telah dijalankan sejak November 2015. Untuk tahun ini sahaja sebanyak 26 premis telah dijalankan operasi, 22 kompaun dijalankan dengan jumlah RM20,500.00. Hasil daripada operasi tersebut telah menyaksikan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil ini terhadap premis-premis berkenaan dengan nilai sitaan sebanyak RM700,000.00 bersama dengan berbagai peralatan, seperti komputer riba (laptop), CPU, mesin stimulator dan peranti tab. Susulan daripada operasi tersebut turut menyaksikan sebanyak 12 kertas siasatan telah dibuka untuk proses pendakwaan mahkamah ke atas pemilik dan pengusaha premis terbabit.

Sementara itu Yang Berhormat Tuan Speaker, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) telah melalui anggota penguat kuasanya menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Perlesenan Trade Perniagaan dan Perindustrian MPPG tahun 2017 bagi melumpuhkan aktiviti perjudian haram di kawasan pentadbirannya. Sebanyak 7 operasi telah diadakan dengan tindakan dikenakan terhadap pemilik premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram sehingga Jun 2018. Menerusi operasi tersebut sebanyak 28 unit peranti tab, 112 unit monitor, 12 unit komputer riba, 3 unit televisyen, 17 unit papan panel, 39 unit kerusi dan 16 unit meja telah disita. Lanjutan daripada itu, 7 kertas siasatan telah dibuka terhadap pemilik premis pada tahun ini yang berdepan proses pendakwaan di bawah UUK tersebut kerana menjalankan perniagaan berunsur perjudian tanpa lesen daripada pihak MPPG. Maka usaha membersihkan kegiatan perjudian haram ini turut diperhebatkan oleh Majlis Daerah Pontian menerusi Undang-Undang Kecil Perlesenan Trade Perniagaan dan Profesional FDP tahun 2018 yang memperuntukkan kuasa menutup premis mulai Julai 2018. Oleh yang demikian, MDP sedang aktif mempergiat operasi pembersihan aktiviti perjudian bagi kedai telekomunikasi mendapat syarat lesen yang telah dipinda bagi tindakan lanjut tentang pelanggaran syarat lesen bagi premis telekomunikasi seperti lesen dimiliki sebelum ini. Rujukan terakhir adalah Majlis Perbandaran Kulai, Yang Berhormat Tuan Speaker yang telah mengenakan kompaun terhadap pemilik yang didapati bersalah di dalam UUK Licencing of Trade Business Industry and Profession Majlis Daerah Kulai tahun 1982 Para 3 iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Yang Berhormat Tuan Speaker, begitulah usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri Johor atas inisiatif dan kapasiti sendiri tanpa mengira di mana, pada masa menjalankan operasi-operasi ini sebenarnya anggota-anggota penguat kuasa kita yang kekurangan kelengkapannya kalau berbanding dengan Polis Diraja Malaysia tetapi mereka sanggup mengambil risiko tersebut demi menjamin kesejahteraan masyarakat. Antara kes-kes ataupun kejadian yang saya ingin tonjolkan di sini adalah di mana Ketua Penguatkuasa untuk Majlis Perbandaran Kluang telah beberapa kali menerima ugutan nyawa dan yang terbaru rumah beliau telah disimbah dengan cat merah pada hujung Julai yang lalu. Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga pihak kerajaan negeri tidak akan kompromi dan tidak akan undur dalam usaha membanteras perjudian haram ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Semarang, Semarang.

Terima kasih tuan Speaker, tagline ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ sungguh memberangsangkan. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya nak bertanya, meletakkan tanggungjawab ini lebih kepada agensi persekutuan adalah tidak adil. Berapa banyak kes yang berulang yang berlaku daripada operasi-operasi ini? Dan sebenarnya di negeri Johor ini berapa ramai pakar judi-pakar judi yang kita ada di kalangan pasukan keselamatan? Terima kasih.

Speaker

Saya ingat pakar judi tu. Pakar dalam kuatkuasaan. Silakan.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Yang Berhormat Tuan Speaker, memandangkan soalan ni dia lebih kepada bidang kuasa Polis Diraja Malaysia, maka adalah eloknya soalan ini ditujukan kepada pihak berkenaan.

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Tempatan melalui Pasukan Penguatkuasaannya telah mencuba seberapa yang boleh untuk, apa tu kita kata, untuk memberi fokus dalam menangani isu-isu perjudian haram ini atas bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang. Antaranya, penguat kuasa, Persatuan Penguatkuasa-Penguatkuasa PBT Negeri Johor telah cuba berhubung dengan JMF untuk supaya satu latihan yang komprehensif diberikan kepada anggota-anggota penguatkuasaan di seluruh PBT di Negeri Johor supaya mereka dilengkapi dengan daya pertahanan diri yang lebih bermutu supaya keselamatan anggota-anggota terjamin apabila menjalankan operasi.

Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, di antara pengalaman operasi-operasi ini, penguat kuasa kita…

Speaker

Soalan tadi tu, bilangan tadi tu?.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Dah, dah. Itu, itu, kita hanya boleh menjawab soalan atas kapasiti kita, kita tak boleh luar dari bidang kuasa kita. Itu aje, makna kita dari semasa ke semasa akan menambah baik dan melengkapkan anggota kita dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan.

Speaker

Ok, Pekan Nanas.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Terima kasih Yang Berhormat Speaker, saya nak memohon Kerajaan Negeri Johor adakah kerajaan Negeri Johor bersedia untuk mengkaji atau menguatkuasakan Akta Rumah Judi Terbuka, kerana dalam Akta ini Seksyen 4(1) dia adalah seksyen yang menyediakan satu ruang kepada Pihak Berkuasa mengambil tindakan kepada pemilik premis yang menjalankan premis mereka sebagai Rumah Judi Terbuka. Tapi pada Dewan yang lepas, saya pernah tanya kepada rakan-rakan di sebelah sana, saya tanya pada tahun 2011, 2012, 2013 sampai 2016, berapa premis, pemilik premis yang didakwa di bawah Seksyen 4(1) bukan 4(A), bukan 4(B), 4(1) telah menyediakan satu undang-undang yang memberikan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik premis. Sebab itu saya nak tanya…

Speaker

Soalannya apa Yang Berhormat?

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Adakah kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang Seksyen 4(1) dalam Akta Rumah Judi Terbuka. Yang kedua, setakat ini kita tengok banyak kedai...

Speaker

Satu aje Yang Berhormat.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Tambahan sikit.

Speaker

Satu.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Mereka beroperasi sampai tengah hari. Dan, banyak…

Speaker

Yang Berhormat sekarang jadi kerajaan, satu soalan sahaja.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Sikit sahaja, mereka berniaga dan benda yang agak aneh, adakah kerajaan akan mengambil tindakan seperti mengehadkan masa operasi mereka supaya takkan mereka nak berniaga sampai tengah hari sampai pukul 2.

Speaker

Yang Berhormat satu soalan sahaja.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Terima kasih.

Speaker

Ok, ok. Baru masuk Dewan. (Dewan ketawa).

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Yang Berhormat, Yang Berhormat Tuan Speaker, biasalah dah duduk sana.

Speaker

Dia excited.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Dah duduk lama sangat kat sana dia dah lupa, dia dah tukar tempat. (Dewan ketawa.) Bagaimanapun, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya akan cuba menjawab soalan tersebut di mana sebenarnya kerajaan baru tiada kompromi dengan segala unsur-unsur ataupun aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perjudian khasnya perjudian yang haram ni. Sebenarnya tiada perjudian yang halal, melainkan ada pendekatan untuk menghalalkannya. Sebenarnya perjudian ini semua haram. Makna sebenarnya tiada kompromi, kita nak tegaskan di sini bahawa Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dengan segala aktiviti perjudian. Maka, Pihak Berkuasa Tempatan hanya akan bertindak di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang. Maka, kami akan mengkaji dan meneliti cadangan daripada Yang Berhormat Pekan Nanas tadi, yang mana undang-undang yang telah disebut tadi.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga memohon Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, supaya memberikan maklumat dan info sekiranya dapat, ada apa-apa aktiviti perjudian yang dijalankan di kawasan masing-masing sebab kita tidak boleh bergantung kepada semata-mata pihak penguat kuasa sahaja. Info-info, maklumat-maklumat daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat juga adalah sangat penting. Jangan Ahli-Ahli Yang Berhormat simpan info-info itu, maklumat-maklumat itu kononnya akan digunakan sebagai senjata dalam Dewan yang mulia ini. Bagilah maklumat supaya sama-sama kita membanteras gejala negatif ini untuk kesejahteraan masyarakat secara umumnya.

Speaker

Layang-Layang, last. Layang-Layang.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, saya nak tanya dalam keseriusan kerajaan negeri nak membanteras gejala judi haram ini, adakah pihak kerajaan negeri bersetuju kalau kita adakan hotline untuk rakyat dan juga masyarakat yang akan memberi maklumat kepada kerajaan negeri tentang gejala-gejala yang tidak sihat ini dapat dilaporkan terus kepada kerajaan negeri melalui satu jawatankuasa yang ada hotline telefon. Insya-Allah.

Speaker

Pendek aje Yang Berhormat ye, sebab kita nak rehat selepas ini.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Yang Berhormat Tuan Speaker, cadangan daripada Yang Berhormat Layang-Layang akan dipertimbangkan. Bagaimanapun, buat sementara waktu ini, orang awam masih boleh membuat laporan jika mendapati ada aktiviti-aktiviti perjudian yang berlaku di kejiranan mereka kepada pihak polis ataupun melaporkan terus kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

Speaker

Ok, so, saya kira selesai untuk soalan lisan ni.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon ruling. Selalunya kita, soalan jawapan ni sampai 10.30. Jadi, bila Yang Berhormat benarkan sampai hampir pukul 11.00 ni, adakah perkara ini adalah satu ruling Yang Berhormat akan, Yang Berhormat Tuan Speaker akan galakkan dari masa ke semasa ataupun kerana, kerana ia berlaku 2 pihak, Yang Berhormat. Yang bertanya pun kadang-kadang perlu hadkan soalan supaya tepat, yang menjawab pun begitu juga, tak perlu huraian soalan itu sendiri dijawab. Jadi, sekarang ini kita dah pukul 11.00 Yang Berhormat,

Tuan Speaker, saya minta maaf, saya mohon ruling tentang sama ada kita hanya sampai 10.30 ataupun kita tidak ada masa yang terhad.

Speaker

Sebenarnya, tadi kita ada beberapa pemasyhuran dan juga ada angkat sumpah tadi, jadi kita pun bermula tadi agak lewat sikit semasa soalan lisan tadi. Lepas itu, agak lewat sikit dan saya kira memang terlajak sikit. So, esok pagi insya-Allah, kita akan bagi masa satu jam ajelah. So, insya-Allah benda ini tidak akan berterusan beginilah. Selepas ini kita akan berehat selama 20 minit dan dalam masa berehat itu nanti kita akan menyerahkan kunci bilik Ketua Pembangkang sebagai suatu usaha pembaharuan kita dalam Dewan ini (Dewan bertepuk). Dari belah kiri ni tak tepuk, kita bagi kunci ni tepuklah sikit. Ok, so kita berehat 20 minit, insya-Allah, sehingga pukul 11:20 kita kembali ke Dewan ini.

Persidangan di tangguhkan pada jam 11:00 pagi.

Persidangan diteruskan jam 11:20 pagi.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan terhadap Rundingan Menjunjung Kasih akan dijalankan selama 4 hari mulai hari ini 12 Ogos hingga 15 Ogos 2018. Suka saya mengingatkan kepada semua Ahli Yang Berhormat supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berada dan berbahas di dalam Dewan ini selaras dengan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor Bilangan 45.

Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan JohorAddress / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya akan menyeru nama kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya perolehi. Untuk pencadang rundingan, masa yang diberikan selama 45 minit hingga 1 jam. Penyokong diberi masa 30 minit. Ketua pembangkang diberi masa 30 minit manakala Ahli-Ahli Dewan yang lain akan diberi masa 15 hingga 20 minit bagi membolehkan semua Ahli Yang Berhormat dapat berucap. Saya memohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang diberikan dan pada waktu ini insya-Allah ada live daripada Radio RTM Permata Selatan. Insya-Allah. Dijemput Yang Berhormat Senggarang.

Tuan Ir. Khairuddin bin A. RahimAMANAH · PHSenggarang

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa Rundingan bahawa satu ucapan Menjunjung Kasih dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor seperti berikut:-Ampun Tuanku. Adalah patik, Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke 14.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, yang telah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri pada kali ini dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan juga Yang Berhormat EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Johor dan juga Yang Berhormat-Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU Ke-14 yang lepas.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya akan membahagikan ucapan saya menjurus kepada isu-isu yang berkaitan merujuk kepada Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di perenggan ke 20 mengenai pengurusan alam sekitar, sumber air dan hutan perlu juga diberi perhatian yang serius bagi menjamin kesejahteraan hidup yang berkekalan untuk generasi anak cucu kita pada masa hadapan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, ucapan saya terbahagi kepada pertama menaikkan pendapatan hasil kerajaan negeri, kedua meningkatkan sumber air bersih, ketiga pemeliharaan alam sekitar, keempat menggalakkan keluaran hasil pertanian, kelima menghidupkan kembali dasar pandang ke timur dan keenam kesejahteraan rakyat Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, antara sumber utama kerajaan negeri untuk mendapat hasil pendapatan adalah daripada sumber tanah dan galian. Perkara yang berkaitan dengan pungutan cukai-cukai tanah nampaknya pada masa ini kerajaan telah mempunyai satu sistem yang baik, yang sangat baik. Tetapi ramai di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan dalam mengurus sumber asli seperti soal pembalakan dan perlombongan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pembalakan adalah di antara sumber hasil kerajaan negeri. Banyak aduan yang saya terima di mana banyak berlaku ketirisan dalam proses pengeluaran balak. Kutipan hasil tidak dibuat dengan sempurna sehingga kerajaan mengalami kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun. Saya memberi contoh, dalam sebuah lesen kawasan pembalakan dengan penebangan kayu yang terpilih dengan izin tax trees. Penyeliaan dan pengawasan hanya dilakukan oleh Pegawai Renjer Hutan dan Pegawai Mata Kayu. Mereka biasanya bekerja dalam tempoh lama di satu-satu tempat tak berpindah-pindah dan mereka mempunyai hubungan yang baik dengan pihak kontraktor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, banyak maklumat yang saya terima di mana kontraktor pembalakan ini menebang pokok-pokok kayu yang tidak bertanda dan mengeluarkan dengan secara gelap. Begitu juga pokok-pokok yang bertanda di tebang tetapi sebagainya tidak dimasukkan dalam Daftar Pengeluaran Kayu. Kayu-kayu ini juga dikeluarkan dengan secara gelap tanpa membayar cukai. Akibatnya jumlah pengeluaran kayu yang didaftarkan lebih kecil daripada jumlah kayu yang ditenderkan. Dengan itu kontraktor akan layak mendapat kawasan tambahan tanpa membayar cukai premium. Ada kes di mana kontraktor mencadangkan sempadan kompartmen diubah bagi memasukkan kawasan yang banyak kayu.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pihak kerajaan negeri telah mengalami kerugian berganda-ganda dan akan mengalami kerugian berganda-ganda dalam pengurusan pembalakan sekiranya perkara ini tidak diatasi. Kerugian-kerugian tersebut disenaraikan seperti berikut :

1. Pokok kayu yang tidak bertanda yang sepatutnya dibiarkan membesar untuk generasi akan datang telah ditebang secara tidak sah dan dikeluarkan dengan tidak membayar cukai.

2. Rekod pengeluaran kayu dikecilkan jumlahnya kurang dari jumlah tan kayu yang ditenderkan. Oleh itu kontraktor berkenaan berhak mendapat kawasan tambahan tanpa membayar premium.

3. Semasa membayar cukai, saiz kayu dikecilkan supaya pihak kontraktor boleh membayar cukai dengan kadar yang lebih rendah.

4. Penanaman semula anak-anak pokok tidak dibuat dengan sempurna menyebabkan kerajaan akan kehilangan hasil kayu di masa hadapan.

Fakta-fakta aduan yang saya terima, Yang Berhormat Tuan Speaker, perlu di siasat dan diselidiki dan satu mekanisme penyeliaan perlu digubal supaya salah laku berkenaan tidak berterusan berlaku, supaya pokok-pokok kayu dapat di pelihara untuk generasi yang akan datang. Kerajaan akan terus kerugian ratusan juta ringgit sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan. Sekiranya perlu, Jabatan Hutan perlu diperkasakan dengan menambah pegawai-pegawai penguatkuasa secara tetap mahupun sambilan untuk memastikan golongan ini tidak mencuri harta-harta kerajaan. Dahlah kita bagi dia hutan, lepas tu dia curi pula hutan tambahan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, di negeri Johor ada banyak perlombongan galian seperti tanah hitam, tanah putih, pasir laut, hauline, pasir sungai, batu-batan, bauksit dan seumpamanya adalah galian yang akan mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri sekiranya diurus dengan baik. Begitu banyak lori yang membawa hasil galian tanpa permit dan over mining telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri. Lori-lori over load bawa hasil galian yang over load di atas jalan raya yang mengakibatkan kerosakan jalan dari masa ke semasa. Buat masa ini aktiviti perlombongan pasir sungai menggunakan palong dan korekan, akibatnya Yang Berhormat Tuan Speaker, apabila perlombongan pasir menggunakan korekan, tasik buatan terhasil dengan banyaknya di merata negeri Johor. Tasik-tasik buatan ini bercantum antara satu sama lain sehingga ke sungai. Ini menyebabkan lembangan sungai rosak dan aliran sungai sudah terjajar. Kerajaan memberi konsesi kawasan perlombongan pasir kepada individu dan juga syarikat. Mereka meninggalkan tasik buatan dan menyebabkan bahan galian yang merbahaya terdedah kepada asid dan lain-lain. Tak percaya Yang Berhormat Tuan Speaker boleh google, di negeri Johor banyak tasik buatan akibat daripada galian perlombongan di tepi tebing sungai di seluruh negeri Johor. Bahan-bahan merbahaya ini akan mengalir dan menyebabkan pencemaran air sungai. Selain lembangan sungai rosak, tasik buatan ini juga mengakibatkan :

1. Kerajaan telah kehilangan tanah beribu-ribu ekar, beribu-ribu hektar sepanjang sungai yang tidak boleh ditebus guna.

2. Kehidupan akuatik akan terjejas mati dan pupus.

3. Sungai jadi sungai yang mati.

4. Sumber air bersih akan juga terjejas.

Yang Berhormat Tuan Speaker, berhubung dengan aktiviti perlombongan pasir, saya dapat aduan daripada rakyat di Tenggaroh 13, Mersing di mana terdapat aktiviti perlombongan dan pemindahan pasir dilakukan tanpa mempunyai lesen daripada Pejabat Tanah Daerah dan PTG. Tanah ini adalah kepunyaan FELDA Plantation, saya maklum. Operasi pemindahan pasir dilakukan di waktu malam adalah suatu yang tidak betul. Jadi, saya minta satu siasatan sama ada oleh pihak PTG atau SPRM, maklumat dalaman memaklumkan bahawa pengusaha tersebut bukan sahaja mengeluarkan pasir tetapi terdapat juga galian emas di negeri Johor ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara ini juga berlaku di lokasi-lokasi lain di seluruh negeri Johor. Akibatnya kerajaan kehilangan ratusan juta ringgit disebabkan golongan-golongan tersebut. PTG perlu diperkasakan dengan menambah pegawai penguatkuasa secara tetap atau sambilan, jika perlu dilakukan rombakan adalah disarankan kerajaan menubuhkan anak syarikat kerajaan bagi menguruskan pengeluaran pasir di negeri Johor pada masa ini dan akan datang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, banyak sungai-sungai di negeri telah tercemar dalam keadaan maksima. Akibat pencemaran ini juga menyebabkan sungai-sungai tersebut tidak boleh dijadikan punca air yang boleh dirawat kerana kos rawatan terlalu tinggi. Di Johor Selatan umpamanya ada dua batang sungai utama, Sungai Johor dan Sungai Sedili. Di sepanjang Sungai Johor ada 4 loji rawatan air yang besar iaitu Loji Sungai Sayong, Loji Sungai Semangar dan Loji Sungai Johor dan Loji PUB. Loji PUB membekal air kepada Singapura manakala Loji Sungai Johor dan Loji Sungai Semangar membekalkan air ke Johor Selatan. Air di Sungai Sedili pula di pam ke Empangan Seluyut dan Empangan Iskandar. Kedua-dua empangan ini membekalkan air kepada Pengerang dan juga Pasir Gudang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, cuba bayangkan jikalau sungai ini tercemar teruk disebabkan perlombongan pasir dan lain-lain aktiviti yang mencemarkan alam, di mana lagi sumber air bersih untuk kita dapatkan bagi penduduk Johor Selatan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pencemaran Sungai Skudai dan Sungai Tebrau adalah dalam keadaan yang sangat tenat. Terdapat beberapa loji rawatan air yang sudah tidak beroperasi di sepanjang sungai. Adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan Johor pada hari ini untuk membaik pulih kedua-dua sungai ini iaitu Sungai Skudai dan juga Sungai Tebrau. Pihak Berkuasa Tempatan, BAKAJ dan JPS perlu berbincang untuk mengenal pasti masalah dan mengambil tindakan yang tegas untuk memastikan lembangan sungai dan empangan tidak dicerobohi. Lembangan sungai dan empangan ini perlu diwartakan. Jangan ada kilang-kilang di lembangan sungai. Jangan ada tanam-tanaman di lembangan sungai. Apabila lembangan sungai dicerobohi dengan aktiviti-aktiviti pengilangan dan tanaman dan juga rumah-rumah haram, mengakibatkan sungai atau kawasan empangan menjadi rapuh dan cetek. Ini menjejaskan sumber air bersih.

Yang Berhormat Tuan Speaker, air sebenarnya, air tidak ada gantiannya. Air tidak boleh digantikan dengan benda-benda. Air itu adalah air. Jangan sampai kita putus air sehingga rakyat tidak dapat mengambil wudhu dan bersembahyang. Pembangunan ekonomi akan terbantut tanpa air. Masalah sungai mati akibat pencemaran. Air laut masuk ke sungai disebabkan perubahan iklim. Perjanjian Air dengan negara jiran adalah cabaran kerajaan Johor masa kini. Kerajaan Pakatan Harapan yang baru ini digesa agar lebih proaktif dan profesional dalam memenangi isu air ini sebagaimana dikehendaki oleh rakyat. Mereka mahu kuantiti dan kualiti air yang terjamin.

Buat masa ini Yang Berhormat Tuan Speaker, sumber air permukaan yang terhad dan tercemar memerlukan kos rawatan yang sangat tinggi. Akibatnya rakyat Johor membayar bil air dengan kadar termahal di Malaysia, mungkin juga di dunia, saya tak pasti ya. Pihak kerajaan perlu mencari sumber air alternatif, salah satu pilihan yang masih ada adalah sumber air bawah tanah. Air bawah tanah merujuk kepada air yang tersimpan dalam lapisan tanah dan batuan yang terletak di bawah permukaan bumi. Ramai yang tidak mengetahui bahawa sumber bekalan air bersih dunia datang dari glasier sebanyak 69%, air bawah tanah 31% dan air permukaan seperti tasik, sungai dan kolam tadahan hanya 0.3% sahaja. Namun begitu, hampir keseluruhan rakyat Malaysia bergantung sepenuhnya kepada air permukaan sebagai sumber air bersih utama untuk kegunaan seharian.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya percaya ada teknologi yang telah terbukti mampu untuk mencari sumber air bawah tanah. Kerajaan Pakatan Harapan yang berfokus “Dasar Pandang Ke Timur” boleh mempelajari teknologi berkaitan air bawah tanah dari negara Jepun. Dikhabarkan air di Jepun sangat bersih dan berkualiti. Untuk menangani masalah ini, saya cadangkan agar kerajaan menubuhkan syarikat khas untuk penerokaan air bawah tanah. Apa pun, kerajaan perlu menggubal dasar yang jelas sebelum kita membuat kerja-kerja eksplorasi sumber air bawah tanah ini. Dan, ada dua daerah yang saya kira boleh dicadangkan iaitu daerah Mersing dan Kota Tinggi boleh dijadikan pilot projek untuk sumber air bawah tanah, kedua-dua daerah ini kerap mengalami kekurangan air bersih.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Pantai Minyak Beku adalah tempat yang berpotensi menjadi kawasan tumpuan pelancongan dan pembangunan ekonomi masyarakat setempat di kawasan sekitar Batu Pahat. Tetapi malangnya, baru-baru ini timbul isu pencemaran bauksit di sekitar Kampung Minyak Beku. Pencemaran bauksit ini perlu ditangani dan dipandang serius oleh semua pihak berwajib. Banyak kesan buruk boleh berlaku sekiranya pencemaran bauksit ini tidak diambil tindakan susulan. Persatuan Sains dan Teknologi Vietnam-Amerika sebelum ini ada mengeluarkan amaran bahaya pencemaran bauksit di Vietnam dengan alasan debu merah bauksit akan menyebabkan hujan menjadi berasid sehingga menjejas kesuburan tanaman komoditi dan hasil pertanian. Terdapat dakwaan juga di Kuantan, Pahang bahawa akibat daripada perlombongan bauksit yang tidak terkawal menyebabkan pencemaran udara dan air serta boleh menimbulkan masalah kesihatan di kalangan masyarakat sekitar. Ada juga laporan yang memetik kenyataan pengkaji dari Australia bahawa lumpur merah bauksit boleh menyebabkan kanser paru-paru. Antara kandungan dalam debu merah bauksit yang bahaya adalah aluminium hidroksida yang boleh menyebabkan pedih hidung, batuk-batuk serta kulit mengalami kemerahan

menggelupas dan gatal mata. Terdapat kajian mengaitkan aluminium hidroksida dengan penyakit seperti alzheimer dan juga parkinson. Manakala kandungan ferum oksida dalam debu merah berkenaan pula didakwa akan menjejaskan fungsi sistem hati. Selain daripada itu bahan natrium hidroksida yang terkandung dalam lumpur merah bauksit juga dikatakan merbahaya kepada manusia kerana jika terkena tubuh secara langsung boleh mengakibatkan kerengsaan kulit dan radang pernafasan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, adakah sekarang Pantai Minyak Beku selamat dijadikan tempat beriadah pada ketika ini? Jawapan saya, ianya tidak selamat. Cadangan dan langkah-langkah pengawalan Tuan Speaker, Yang Berhormat Tuan Speaker, yang telah diutarakan oleh Datuk Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menyarankan bahawa pencemaran bauksit di Kampung Minyak Beku boleh dikawal dengan melaksanakan beberapa langkah di kawasan pengumpulan dan pengagihan bauksit di jeti persendirian Kampung Minyak Beku. Antaranya :

1. Memasang wheel washer atau vehicle tracking pad di pintu keluar supaya tayar lori yang keluar dari kawasan itu ada melalui jalan raya bebas dari kotoran bauksit.

2. Memasang perimeter drain di sekeliling kawasan pengumpulan dan pengagihan bauksit dan juga sediment containment pond untuk mengawal sediment dari stock pile bauksit mencemar kawasan sekitarnya.

3. Membina kawasan pengumpulan dan pengagihan berbumbung dan bertutup untuk mengelak masalah habuk dan terdedah kepada air hujan.

4. Membina kawasan pengumpulan dan pengagihan yang lebih luas dan boleh menampung isi padu stock pile yang banyak agar pergerakan lori yang membawa masuk bauksit di kawasan ini boleh dikawal.

6. Menjalankan penyelenggaraan jeti supaya tidak berlaku tumpahan bauxite ke dalam laut semasa pemindahan dari kawasan pengumpulan ke dalam kapal.

7. Memastikan lori membawa bauxite menutup dengan plastik kawasan belakang lori. Kalau boleh bauxite itu diangkut daripada tempat mining ground ke Minyak Beku dengan menggunakan jumbo bag yang besar.

8. Memastikan muatan bauxite yang dibawa mengikut spesifikasi lori supaya tidak merosakkan jalan raya.

9. Menubuhkan sebuah jawatankuasa bersepadu yang terdiri daripada pelbagai agensi untuk menangani isu ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sekiranya saranan langkah-langkah di atas tidak dilaksanakan dan dipatuhi, saya menyarankan agar aktiviti bauxite di Minyak Beku dihentikan serta merta.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya sebagai penasihat kepada jawatankuasa bertindak menyampaikan bantahan penduduk terhadap cadangan pembinaan pusat pelupusan sampah sanitary Bukit Payung yang akan dimajukan oleh Imej Warisan Sdn. Bhd. dan telah diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang lepas di kawasan penempatan kami yang melibatkan 18 buah kampung dan taman di sekitar Bukit Payung, Parit Sulong. Pada hemat kami, pembinaan tapak pelupusan sampah di perkampungan kami ini akan mengundang pelbagai risiko dan kesan-kesan negatif sama ada sebelum, semasa dan selepas pembinaan tersebut dilaksanakan. Bukit Payung yang terdiri daripada 4 puncak semula jadi kini semakin mendapat perhatian pendaki-pendaki dari seluruh negara terutamanya dari Singapura sebagai tempat yang amat menarik untuk kegiatan mendaki trans Bukit Payung serta aktiviti mountain bike. Bukit Payung juga terdapat kawasan air terjun semula jadi yang boleh dikomersialkan oleh pihak PBT selain faktor-faktor sejarah seperti kubur-kubur lama

zaman Kesultanan Melaka dan terdapatnya fosil-fosil dari zaman pra sejarah yang tidak ternilai. Hasil dari kajian sarjana dari universiti-universiti di Malaysia, kami sebulat suara bersetuju agar Bukit Payung ini diwartakan sebagai hutan rekreasi yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh generasi yang akan datang dan dapat dipastikan agar kelestarian alam semula jadinya akan terus dikekalkan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kegiatan penerokaan hutan secara haram, pengambilan tanah dan penebangan kayu-kayu hutan yang bernilai tinggi secara haram juga perlu dihentikan segera kerana Bukit Payung ini menjadi tempat tinggal kehidupan liar dan terletak tidak jauh dari perkampungan Melayu dan tindakan lebih keras perlu diambil kepada mereka yang melakukannya. Wujud keraguan yang munasabah di dalam laporan DEIA dengan izin Detail Environmental Impact Assessment berhubung dengan tapak cadangan pusat pelupusan sampah Bukit Payung sepertimana berikut:

1. Tapak cadangan pusat sampah Bukit Payung ini akan dibina tepat atas saliran air. Aliran air Parit Purun sebuah tali air yang menjadi tempat masyarakat kampung mengambil air pada musim kemarau. Kewujudan tali air ini tidak dinyatakan langsung dalam laporan DEIA. Jarak minima dari sesebuah pusat sampah dengan aliran air mestilah lebih dari 500 meter.

2. Laporan DEIA tidak disebutkan tentang kewujudan cerun di mana ianya tidak akan mampu menampung aliran air dari 3 banjaran bukit yang mengelilingi cadangan pusat sampah ini iaini Bukit Payung, Bukit Botak dan Bukit Berdiri.

3. Laporan DEIA tidak menyatakan sekolah-sekolah yang berdekatan dan sekitar pusat sampah ini. Terdapat 9 buah sekolah kerajaan, sekolah agama Johor dan sekolah jenis kebangsaan di keliling pusat sampah Bukit Payung ini. i. Sekolah Agama Kampung Jawa, 1.3 kilometer; ii. Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 1.5 kilometer; iii. Sekolah Seri Tanjung, Kampung Selatan; iv. Sekolah Bukit Rahmat; v. Sekolah Kebangsaan Sri Comel; vi. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lee Choon Parit Kasim; vii. Sekolah Agama Kangkar Merlimau; viii. Tadika Kemas Kangkar Merlimau; dan akhir sekali ix. Sekolah Kebangsaan Parit Ju.

Laporan DEIA hanya menyatakan ada 3 kampung yang akan terlibat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sedangkan jumlah kampung dan penempatan yang akan terlibat akibat daripada pembangunan pusat pelupusan Bukit Payung ini adalah sebanyak 18 buah, bukan 3 buah kampung. 8 buah kampung itu adalah Kampung Baru, Kampung Kangkar Merlimau, Kampung Mohamad Noor, Kampung Parit Abdul Hadi, Kampung Parit Abdul Rahman, Kampung Parit Belemang, Kampung Parit Betong, Kampung Parit Jagung, Kampung Parit Jalil, Kampung Parit Jawa...

Speaker

Banyaknya Yang Berhormat.

Kampung Parit Jorak, Kampung Parit Ju, Kampung Parit Kasim...

Speaker

Banyak sangat kampungnya...

Kampung Parit Lahak, Kampung Parit Selulun, Kampung Parit Yusuf, Taman Melati dan Taman Putra Indah. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya beritahu supaya orang semua tahu.

Yang Berhormat Tuan Speaker,

5. Terdapat lebih 26,000 penduduk di sekeliling Bukit Payung. Namun tinjauan pendapat yang diambil di dalam DEIA Report hanyalah sekitar 179 orang. Diambil laporan daripada 179 orang mewakili 26,000 penduduk. Ini bersamaan dengan 0.68% adalah sesuatu yang amat tidak wajar.

6. Laporan DEIA menyatakan lebih 60% responden tinjauan pendapat telah menolak kewujudan pusat pelupusan sampah Bukit Payung namun projek sampah ini tetap diteruskan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengusulkan supaya kerja-kerja di pusat pelupusan sampah Bukit Payung yang pada masa ini sedang berjalan dihentikan serta merta dan dipindahkan ke tempat lain yang lebih bersesuaian dengan menggunakan teknologi waste for energy yang digunakan di negara-negara lain pada masa ini. Saya juga mengusulkan setiap daerah mempunyai pusat pelupusan sampah mereka sendiri yang menggunakan teknologi waste for energy tersebut.

Yang Berhormat Tuan Speaker, hampir keseluruhan kawasan pertanian di negeri ini ditanam dengan kelapa sawit. Tidak banyak keluaran hasil pertanian dikeluarkan oleh petani kita. Akibatnya, kebanyakan keperluan pemakanan kita diimport dari luar negara, bukan setakat bawang putih, bawang merah, lobak merah, kubis yang kita import tetapi kacang panjang, sawi pun kita import juga. Buah-buahan tropika yang lain yang jelas boleh hidup subur di negara ini seperti jambu batu, jambu air, mangga dan sebagainya pun kita import juga, ada yang kita import. Apakah bentuk dasar pertanian negara ini sehingga perkara di atas berlaku secara berleluasa. Di manakah saintis pertanian kita sehingga tiada satu produk asal negara ini yang dapat kita banggakan. Wajarkah ianya terus berlaku? Ramai kalangan warga dunia yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi krisis pemakanan yang akan berlaku pada tahun 2045. Ketika itu mungkin tiada negara yang sanggup mengeksport makanan mereka ke negara kita kerana mereka juga dilanda krisis makanan. Ini satu hal yang serius. Kerajaan negeri perlu bertindak tanpa menunggu pihak kerajaan pusat membuat dasar mereka.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyarankan agar kerajaan menggalakkan rakyat bertani dengan memberi bantuan input serta membantu mereka untuk memasarkan hasil pertanian mereka. Buang mentaliti untuk hidup mudah, jadikan pertanian satu bidang industri yang besar kerana banyak negara terutama timur tengah dan Asia tengah meminati produk tani ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, nelayan sekitar tertekan dengan kehadiran pukat tunda yang ada di sekitar perairan Sungai Ayam dan Sungai Suluh. Kehadiran kapal pukat tunda menyebabkan nelayan sukar mendapatkan tangkapan ikan. Sering kali nelayan pulang dengan tangan kosong. Untuk maklumat Yang Berhormat Tuan Speaker, para nelayan di kawasan ini merasa tekanan kerana tangkapan kurang dan kos sara hidup semakin meningkat. Isu pukat tunda bukan isu sekarang. Isu yang telah berlarutan di perairan Selat Melaka khususnya di perairan Batu Pahat adalah berpunca daripada perkara berikut.

1. Kawasan perairan telah mengecil sebabkan Selat Melaka telah menjadi sibuk sebagai laluan kapal dagang.

2. Penangkapan ikan pukat tunda sepatutnya dilakukan jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang tetapi telah diingkari dengan melakukan di waktu malam.

3. Memukat kawasan larangan 7 batu nautika dari pantai Batu Pahat.

4. Penggunaan mata pukat kurang 38 milimeter di bahagian keroncong.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengusulkan :

1. Unit Penguatkuasaan Jabatan Perikanan diperkasakan;

2. Penguatkuasaan APMM dipertingkatkan dan

3. Pengharaman pukat tunda di selat melaka menjelang 2020.

Yang Berhormat Tuan Speaker, salah satu masalah yang membantutkan usaha pertanian di kalangan rakyat adalah gangguan daripada haiwan perosak monyet dan juga babi hutan. Hampir di semua daerah termasuk di kampung saya menghadapi gangguan serangan monyet dan babi hutan dan sehingga ini tidak ada satu mekanisme untuk mengatasi masalah ini. Ada 2 pilihan sahaja yang kita ada, yang ada di hadapan kita.

1. Kita lindungi haiwan tersebut dengan kita menafikan hak rakyat untuk bercucuk tanam secara bebas, bagi dia hidup, kita mati. Rakyat terpaksa berkorban dengan kemusnahan bertan-tan hasil pertanian, mematikan minat bertani ataupun;

2. Pilihan kedua adalah pilihan yang tidak popular di kalangan pencinta alam semula jadi tetapi amat melegakan rakyat iaitu kita musnahkan haiwan perosak ini bagi menghadapi zaman susah yang hampir pasti kedatangannya. Ini saya serahkan kepada yang pakar dalam masalah ini iaitu Jabatan PERHILITAN.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed, telah memfokuskan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkannya pada tahun 1980-an. Apabila berucap dalam Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia Ke-24 Di Jepun pada 11 dan 12 Jun 2018 yang lepas. Saya menyarankan kerajaan Johor untuk terus membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan tauladan yang terbaik daripada negara Jepun dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di negeri ini. Negara Jepun adalah merupakan negara yang begitu pesat membangun. Beberapa bidang mereka adalah lebih maju dari beberapa negara barat sendiri. Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan tauladan kepada kita dan seterusnya dipraktikkan bagi mencapai matlamat pembangunan negeri Johor. Dengan cara meninggikan prestasi pengurusan dan juga pembangunan sektor awam dan swasta.

Apa dia objektif utama dasar pandang ke timur? Iaitu meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini dan kedua mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang berprestij untuk meninggikan kemajuan negara. Fokus dasar yang perlu diambil berat oleh kerajaan negeri Johor yang perlu dicontohi daripada Jepun iaitu kerajinan dan disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja, keutamaan kepada kumpulan dan tidak diri sendiri, tekanan daya pengeluaran yang tinggi kualiti, peningkatan kecekapan, pengurusan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja am, sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak semata-mata peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek dan lain-lain lagi yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita.

Selaras dengan dasar ini, kerajaan Johor perlu menyusun strategi dan program bagi meningkatkan kecekapan, kekesanan dan penghasilan kerja yang lebih baik di kalangan pegawai dan kakitangan. Dasar Pandang Ke Timur merupakan satu usaha baik dan positif dari pihak kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pembangunan negara ini. Di samping itu ianya boleh menjadi asas pewujudan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri disarankan mengambil perhatian perkara-perkara berhubung etika kerja, pelaburan dan teknologi Jepun ke Johor. Difahamkan bahawa produk halal berasaskan bahan makanan dan minuman hasil minyak sawit serta kosmetik mendapat permintaan tinggi di negara Jepun. Oleh itu, kerajaan negeri disarankan mengadakan pendekatan untuk membangunkan usahawan Johor terutama yang berkait kegiatan halal.

Yang Berhormat Tuan Speaker, ada satu lagi masalah besar yang membelenggu masyarakat yang menduduki atau yang mempunyai lot-lot tanah bertaraf pajakan. Sesetengah tanah hamper luput tempoh pajakan mereka. Satu hakikat yang perlu diakui bahawa mereka ini adalah di kalangan rakyat negeri yang bertuah kerana diberi rezeki untuk tinggal di atas tanah tersebut. Mereka memiliki tanah tersebut bukan curi, mereka memiliki tanah tersebut di antaranya dengan membeli dengan pemilik asal dan sesetengah pula adalah harta yang diwariskan oleh orang tua mereka. Berbanding dengan sesetengah pihak lain seperti syarikat-syarikat korporat, individu berpengaruh yang mendapat kurniaan tanah sehingga ribuan ekar berbanding lot tanah perumahan rakyat …....… yang sekadar keluasan 4,000 hingga 8,000 kaki persegi dan lot tanah pertanian ada 2 hingga 6 ekar. Banyak tanah-tanah lot perumahan di kampung-kampung tradisi seperti Kampung Melayu Majidee, Kampung Bendahara Johor Bahru, kampung-kampung baharu dan lain-lain di seluruh negeri Johor yang mempunyai pegangan pajakan yang hampir luput tarikhnya. Sudah sampai masanya kita mengakui bahawa tanah berkenaan ada hak sebenar kepada pemilik tanah sedia ada. Jadi, dengan lapang dada dan ringan hati pihak kerajaan Pakatan Harapan hendaklah mengurniakan semula tanah-tanah pegangan pajakan ini kepada pemilik sedia ada dengan tanah pegangan kekal. Itu cadangan saya.

Jika tanah tersebut berstatus bumiputera maka teruskan status bumiputera dengan pegangan kekal atau pajakan kekal. Saya mencadangkan semua tanah-tanah lot perumahan dan pertanian yang berstatus pajakan dikurniakan semula sebagai tanah pegangan kekal dengan mengekalkan status rizab bumiputera bagi tanah-tanah yang berkaitan. Berilah hak kepada mereka yang berhak.

Yang Berhormat Tuan Speaker, negeri Johor adalah sebuah negeri yang berketandusan tempat pelancongan dan riadah. Kita ada Legoland tetapi untuk masa kena bayar yang mahal. Rakyat kampung nak pergi Legoland tak mampu nak pergi. Oleh itu, perlu kerajaan untuk menyediakan tempat pelancongan murah bagi membolehkan rakyat melepaskan rasa penat lelah selepas berhari-hari bekerja. Hutan Lipur Gunung Pulai, Minyak Beku merupakan tempat perkelahan yang tidak jauh untuk dilawati bagi warga Johor dan kawasan sekitarnya.

Di sana terdapat air terjun yang terletak dalam hutan yang nyaman udaranya, di Hutan Lipur Gunung Pulai tetapi malang ianya tidak diurus dengan sebaiknya. Ada pengunjung mendakwa terdapat pokok tumbang di dalam kolam air terjun sejak beberapa lama tetapi tidak dibersihkan. Mereka mencadangkan supaya pihak kerajaan membina empangan setinggi 2 kaki di air terjun pertama dan kedua bagi membentuk kolam mandian yang lebih besar bagi memberi lebih keselesaan kepada pengunjung, kerajaan perlu berbelanja sedikit untuk menyediakan kemudahan berkenaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mendapat aduan berhubung dengan elaun pegawai masjid qariah dan surau di negeri Johor berbanding dengan elaun imam masjid qariah yang mendapat elaun mereka secara tetap pada setiap 25 hari bulan pada setiap bulan. Pembayar elaun mereka ini di bayar oleh JAKIM, bagi Biro Angkasa sebagaimana kakitangan kerajaan persekutuan. Tetapi elaun untuk bilal masjid qariah, noja masjid qariah, imam surau dan bilal surau adalah dibayar oleh kerajaan negeri pada setiap selepas penggal 3 bulan. Mereka dikehendaki mengisi dan menghantar borang tuntutan yang lengkap kepada Pegawai Bahagian Masjid Surau Pejabat Kadi Daerah.

Borang tuntutan yang hendaklah lengkap dan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum geran pembayaran dikeluarkan pejabat negeri. Sekiranya lengkap elaun mereka akan diterima pada penggal ketiga atau keempat. Masalah yang timbul ialah Yang Berhormat Tuan Speaker, sering mereka tidak menerima elaun disebabkan oleh maklumat dalam borang yang tidak lengkap dan tuntutan dibuat lambat maklumlah kebanyakan imam-imam masjid dan surau orang kampung, tak boleh taip komputer. Saya mencadangkan Yang Berhormat Tuan Speaker, prosedur pembayaran elaun pegawai masjid dan surau di bawah kerajaan negeri diperbaiki, dipermudahkan. Jika boleh ia dibayar setiap bulan secara tetap

sebagaimana imam masjid qariah. Saya juga mendapat aduan bahawa kadar elaun yang diterima mereka adalah sangat rendah dan memohon agar ia dapat dikaji semula sesuai dengan zaman masa kini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, akhir sekali untuk menjadikan rakyat Johor lebih sihat, saya mencadangkan supaya pihak kerajaan mengarahkan rakyat Johor termasuk saya dan tuan-tuan yang ada di Dewan ini untuk mempunyai berat badan kurang 80 kilogram. Mereka perlu mengawal makan, kat sini Dewan Negeri pun jarang makan banyak kali, dan kurangkan tidur, ini bersesuaian dengan maksud hadis Rasulullah SAW bahawa penyakit berpunca daripada banyak makan dan banyak tidur. Ramai Wakil Rakyat sudah meninggal. Kita kena jaga kesihatan kita. Kalau rakyat kurangkan makan, kuranglah kuantiti mengimport beras dan bahan makanan lain, maka kuranglah aliran wang keluar yang boleh digunakan untuk aktiviti perniagaan di dalam negara. Kurangkan tidur boleh memberikan masa yang lebih luas untuk membaca atau membuat kerja-kerja amal yang lain. Dengan ini, insya-Allah, rakyat Johor khasnya akan kelihatan lebih sihat dan lebih segak.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sekadar itu ucapan daripada saya, sekian wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Ucapan Panjang lebar, bernas ada point yang baik tetapi saya tak berapa jelas daripada sini sebab mungkin mikrofon tidak begitu clear, daripada tempat saya ni tak berapa jelas dan tak berapa clear butiran setiap satu ini, mungkin kita kena baiki sistem mikrofon. Saya tak pasti pegawai kerajaan dengar kat belakang? Di sebelah sana dengar? Saya tak clear kat sini, tak berapa jelas apa benda yang dibutirkan. Ok, apa pun seterusnya daripada Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon menyokong rundingan itu, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan rundingan menjunjung kasih, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Patik juga ingin merafak sembah sujud menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama Dewan Negeri Yang Ke-14. Keprihatinan Tuanku dalam aspek berkaitan dengan rakyat dan pentadbiran negeri ini patut dititik beratkan oleh setiap Ahli Dewan yang mulia ini.

Stulang juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor kerana telah membuat satu keputusan yang cukup bijak dalam pilihan raya umum yang lalu, iaitu telah memberi mandat atau pun amanat yang cukup besar kepada Pakatan Harapan untuk menjadi barisan kepimpinan yang baharu yang akan mentadbir kerajaan Johor untuk tempoh lima tahun yang akan datang. Oleh kerana kehendak rakyatlah kita berada di sini. Terimalah hakikatnya bahawa rakyat telah pun menolak kepimpinan kerajaan Barisan Nasional yang dulu.

Rakyat sudah tidak tahan lagi dengan politik yang di bawa oleh kerajaan sebelum ini. Biarlah kita mengambil penolakan rakyat terhadap kerajaan sebelum ini sebagai satu iktibar di mana rakyat yang paling berkuasa. Terlalu yakin, angkuh, tidak amanah, memandang remeh suara rakyat dan kehendak rakyatlah yang akan akhirnya membawa kepada kecundangnya sesebuah kerajaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan Pakatan Harapan pasti tidak akan menghampakan rakyat yang menaburkan harapan dan keyakinan yang penuh kepada kerajaan baharu. Bahkan kerajaan pasti akan bertungkus lumus dalam melunaskan segala janji-janji serta melakarkan polisi-polisi yang baik demi menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

Dan saya cukup yakin, kerajaan sekarang yang dipimpin oleh Menteri Besar serta barisan EXCO dari masa ke semasa akan mengumumkan program-program yang baik dan bermanfaat dan tidak ketinggalan juga janji-janji Pakatan Harapan yang dikotakan juga telah

menyusul satu persatu. Antara yang telah diumumkan adalah seperti air percuma, Skim Takaful Warga Emas, Kad Sihat Johor, penghapusan Kuota Menegak Kerajaan, pengecualian lesen penjaja, tender terbuka, hadkan tempoh MB, diskaun 50% PPR, Harapan Siswa, insentif kahwin.

Jadi, buat kali pertamanya dalam sejarah Malaysia, negara kita mengalami peralihan kuasa pentadbiran daripada Barisan Nasional ke Pakatan Harapan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat Persekutuan. Rakyat Malaysia dan Bangsa Johor telah mempamerkan kepada seluruh dunia bahawa peralihan kuasa telah terlaksana dengan aman dan teratur. Tahniah diucapkan. Rakyat rata-rata juga berasa bangga dengan kematangan yang dipamerkan dalam menghayati sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Patik sekali lagi, juga merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih kerana Baginda sebagai ketua negeri Johor telah melantik Menteri Besar Johor dan barisan EXCO yang baharu untuk mentadbir negeri Johor. Terima kasih juga diucapkan kepada para pegawai kaki tangan dan jentera pentadbiran kerajaan kerana telah mempamerkan etika kerja yang cukup profesional dalam proses peralihan kuasa ini. Peranan mereka dalam memberikan taklimat pentadbiran bimbingan nasihat kemas kini semasa dalam pentadbiran serta kerjasama yang ditonjolkan telah menyumbang kepada kelancaran peralihan kuasa. Kerjasama erat dengan kerajaan sekarang Government Of The Day yang telah disemai sejak 9 Mei perlulah diteruskan bahkan diperkukuhkan demi kemakmuran negeri Johor. Ini kerana tanpa perkhidmatan yang cemerlang, penuh dedikasi dan integriti kaki tangan kerajaan adalah amat sukar untuk kerajaan melaksanakan dasar-dasar untuk kepentingan rakyat. Biarlah kita sama-sama berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Sekali lagi ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua JCS. Terima kasih.

Selain itu, Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan Pakatan Harapan sekarang memang merupakan sebuah kerajaan yang mengambil sikap yang sangat terbuka. Ini terbukti dengan mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang dengan memberikan elaun dan juga pejabat dan juga seperti yang dikatakan oleh Menteri Besar tadi, kita juga menambah baik apa-apa program yang telah dilaksanakan. Ini menunjukkan kita merupakan satu kerajaan yang mengamalkan sikap yang terbuka. Segala cadangan atau idea yang bernas, pasti akan diterima dan dikaji. Kerajaan pasti tidak akan menolak sesuatu rundingan atau cadangan yang baik atas sebab datang daripada pihak pembangkang, jangan risau. Asalkan dengan niat baik dan ikhlas. Kritikan tersebut bukan berunsur tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat. Justeru itu, kita haruslah menjadikan Dewan yang mulia ini, sebagai satu pentas yang pertama memeras otak dalam membincangkan segala masalah berkenaan isu rakyat dengan bernas. Menggubal undang-undang untuk rakyat, memberikan cadangan-cadangan yang kreatif, biarlah perbahasan kita sebagai saluran percambahan minda dan pencetusan idea. Sebagaimana yang dimaksudkan dalam titah Tuanku yang mengingatkan semua Ahli Dewan Negeri supaya menjaga adab dan tata tertib ketika berbahas dan tidak mahu Dewan dijadikan seperti sarkas.

Yang Amat Berhormat Tuan Speaker, di sini izinkan saya juga membentangkan serba sedikit keadaan di CIQ BSI dan saya juga akan membentangkan isu ini secara lebih terperinci. Sebagaimana yang kita sedia maklum, masalah kesesakan lalu lintas di CIQ BSI merupakan satu masalah yang memang membelenggui rakyat Malaysia yang kerap ulang alik Malaysia-Singapura. Para pelancong rakyat asing yang memasuki Malaysia juga mengalami masalah yang sama. Kerajaan pusat dan kerajaan negeri, memang memandang serius perkara ini, dan saya juga ditugaskan oleh Jawatankuasa Infrastruktur Kerja Raya dan Pengangkutan untuk mengetuai Jawatankuasa Petugas Khas (Special Taskforce) untuk memantau isu ini.

Jadi, untuk makluman penggunaan BSI dan KSAB kian meningkat. Di sini saya membentangkan sedikit figure iaitu jumlah orang yang keluar masuk 2017 di BSI dan KSAB adalah sekitar 102 juta dengan purata harian 280,000. Maksudnya, satu hari 280,000 orang pakai BSI dan KSAB ini. Jumlah kereta persendirian yang masuk pada tahun lepas di

kedua-dua pintu masuk sempadan adalah sekitar 9 juta buah kereta, 9 milions, 9 juta dengan purata harian adalah 25,000 buah kereta satu hari. Walaupun banyak urus tadbir di bangunan BSI ini melibatkan jabatan di peringkat Persekutuan tetapi adalah penting juga untuk saya membawa isu di sini bagi menunjukkan keprihatinan dan peranan kerajaan Johor dalam membawa, mengangkat isu ini ke peringkat Persekutuan dan Mesyuarat Kabinet yang melibatkan ramai rakyat Johor.

Masalah pokok dengan pentadbiran sempadan adalah bangunan CIQ seperti BSI dan KSAB di sempadan bukan ditadbir oleh sebuah agensi tunggal ya. Saya ulangi, bukan ditadbir oleh sebuah agensi tunggal. Dengan kata lain, setiap agensi kerajaan yang berkaitan yang berada di CIQ akan menjalankan tugas masing-masing dengan melaporkan kepada kementerian masing-masing, di BSI ada 23 agensi manakala di KSAB ada 13 agensi serta beberapa syarikat swasta yang diberikan kontrak penyelenggaraan.

Kementerian yang terlibat adalah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pertanian dan Industri Asas Tani, menteri pun ada sini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Kementerian Pelancongan. Ketiadaan sebuah agensi tunggal di bangunan CIQ sekarang bermakna, bermakna apa? Setiap pegawai akan melaksanakan tugas masing-masing dengan arahan daripada Ketua Jabatan masing-masing daripada kementerian masing-masing sahaja. Tiada seorang Komander ataupun Jeneral yang mampu atau berkuasa untuk memberi arahan kerja yang menyeluruh di dalam bangunan CIQ. Koordinasi kerja menjadi kurang berkesan. Koordinasi antara kementerian hanya melalui mesyuarat dan kerjasama yang ada selama ini lebih berbentuk goodwill, dengan izin. Ini adalah kerana para pegawai di kementerian yang berlainan tidak mempunyai obligasi untuk menuruti arahan daripada pegawai yang berlainan kementerian. Ya, ini adalah keadaannya.

Yang keempat, keadaan ini telah mengakibatkan polisi-polisi yang baik lebih sukar dilaksanakan kerana wujudnya kekangan di antara kementerian. Yang akhirnya, tindak balas akan menjadi lambat apabila kita menangani kes-kes kecemasan terutamanya di sempadan negara Malaysia. Contohnya ya, sini saya nak berikan satu contoh, kami telah mengkaji dan mendapati terdapat beberapa kelemahan reka bentuk dan prosedur-prosedur yang berlaku di BSI di sini bukan saya nak menyalahkan sesiapa, hanya keadaan yang memang begitu. Antara yang mengakibatkan kesesakan adalah bagi laluan kereta semasa masuk Malaysia, kaunter Imigresen dan kaunter roadcharge tollplus adalah di dua tempat yang berlainan. Hanya dipisahkan sekitar 4 meter. Ini telah mengakibatkan para pengguna perlu berhenti dua kali untuk menyelesaikan ketiga-tiga urusan tersebut. Kalau mereka yang biasa keluar balik, keluar masuk Singapura akan biasa memerhati keadaan seperti ini. Jadi keadaan seperti ini, masa kita 10 saat dibazirkan untuk setiap kereta. Masa akan melebihi 10 saat untuk kereta yang lebih besar dan panjang. Ini belum lagi mengira masa yang akan dilengahkan sekiranya kad kredit touch ‘n’ go tidak mencukupi dan adanya urusan top up. Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini ya, panel sentuhan roadcharge dan tollplus perlu dialihkan ke tempat yang sama dengan kaunter Imigresen. Tetapi untuk menyelesaikan perubahan ini, koordinasi dan persetujuan daripada empat kementerian adalah diperlukan iaitu KDN, MOT, JPM dan Kementerian Kerja Raya. Jadi, keberkesanan akan bertambah baik jika adanya satu agensi tunggal yang memantau isu. Antara kebaikan pembentukan agensi tunggal, one stop centre ataupun single agency adalah; yang pertama, mengurangkan birokrasi dan pentadbiran sempadan di mana respons yang cepat adalah satu keperluan. Agensi tunggal ini bukan sahaja mempunyai bidang kuasa dalam aspek Imigresen sahaja tetapi kuasa untuk menahan seperti Polis, pengeluaran saman trafik, pengurusan bangunan dan sebagainya.

Walaupun isu ini pernah dibincangkan dahulu oleh kerajaan sebelum ini, tetapi memang ada keperluan cemas agar perkara ini dibawa sekali lagi agar pembentukan agensi tunggal di CIQ boleh dilaksanakan dalam masa terdekat ini. Contoh agensi tunggal di seluruh dunia, di Singapura, agensi tunggalnya adalah ICA 2003, Imigresen and Checkpoint Authority, di mana agensi ini, authority ini mempunyai kuasa yang lebih dan lebih menyeluruh. Yang kedua, di Kanada, 2003 Canada Border Service Agency. Ini juga merupakan satu agensi

tunggal untuk memantau pentadbiran di sempadan. Yang ketiga, di Australia, Australia Border Force (ABF 2015) telah pun ditubuhkan untuk memantau pentadbiran di sempadan mereka.

Untuk makluman Yang Berhormat Speaker, Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEN) telah pun digubal pada tahun 2017 oleh kerajaan sebelum ini. Akta ini telah membawa kepada penubuhan agensi kawalan sempadan Malaysia yang bertanggungjawab mengawal kegiatan penyeludupan atau kegiatan tidak sah di sempadan dalam Malaysia. Akta ini lebih kepada usaha mengekang risiko jenayah penyeludupan. Pada pendapat saya, penggubalan akta dan penubuhan agensi tersebut oleh kerajaan sebelum ini masih belum cukup menyeluruh dari segi pentadbiran dan kawal selia sempadan ya, belum cukup menyeluruh. Justeru itu, penyusunan semula, penambahbaikan atau menggubal Akta khusus dalam pentadbiran sempadan Malaysia-Singapura yang membawa kepada pembentukan agensi tunggal perlu dikaji serta-merta.

Pada pendapat saya, memantapkan pentadbiran sempadan di BSI dan KSAB ini bukan semata-mata hanya untuk menangani isu kesesakan sahaja, ia juga adalah satu keperluan dalam menampung permintaan penggunaan yang semakin tinggi seperti angka yang telah saya utarakan tadi dijangkakan pada tahun depan dan seterusnya angka akan melebihi angka sekarang. Pembentukan agensi tunggal yang membawa kepada pentadbiran yang lebih berkesan mantap dari segi koordinasi pentadbiran akan memastikan keselamatan negara kita dikawal dengan baik kerana BSI dan KSAB merupakan dua pintu masuk utama di bahagian selatan Johor. Lebih-lebih lagi kita juga terpaksa mengharungi cabaran yang kian sukar dalam menangani ancaman terrorist, cabaran globalisasi, cabaran keselamatan, cabaran melawan penjenayah global berkumpulan, cabaran penyeludupan barangan atau manusia, cabaran melawan terrorist, cabaran bersaing dengan pasaran antarabangsa dan negara jiran dan sebagainya cukup besar, cukup besar Yang Berhormat Tuan Speaker.

Jadi, selain itu penggunaan aplikasi Big Data dan Artificial Intelligent (AI) dalam sistem kawalan dan rancangan masa depan merupakan satu trend atau keperluan yang tidak boleh dielakkan lagi. Justeru itu, untuk memenuhi keperluan ini pembentukan agensi tunggal di sempadan merupakan rangka asas, rangka asas yang akan menampung kepada segala kolaborasi, integrasi dan akomodasi perlaksanaan yang lebih cekap kerana tanpa agensi tunggal ini ya, dengan cara koordinasi sekarang ini banyak benda kita tidak boleh laksanakan. Ini akan melambatkan kemajuan negeri Johor. Jadi, ekonomi Johor dan pendapatan Johor pasti akan meningkat ataupun mendapat pacuan yang amat positif jika pintu masuk ke Johor, Malaysia dapat ditadbir dengan berkesan.

Jadi, sekali lagi ingin saya tegaskan lagi adalah keprihatinan dan kesungguhan kerajaan Johor dalam menangani isu ini. Dan, kami memang berharap dan akan membawa isu ini ke peringkat Persekutuan dalam masa yang secepat ini supaya isu ini dapat dipantau dan kerajaan Johor memang mengalu-alukan segala pandangan membina daripada setiap pihak untuk menyelesaikan masalah ini. Kerana ini adalah masalah yang runcing, masalah untuk, masalah Johor, masalah Malaysia yang cukup merisaukan semua.

Jadi, kesimpulannya sekali lagi tahniah kepada rakyat Johor yang mempunyai barisan kepimpinan yang baru kita yakin dengan kerajaan Pakatan Harapan yang baru. Patik juga merafak sembah junjung kasih atas keprihatinan baginda Tuanku. Terima kasih juga kepada pegawai tadbir kerajaan yang mendorong kepada kelancaran peralihan kuasa dan kami serta menjanjikan kerjasama yang erat. Jadikanlah Dewan ini sebagai pentas yang positif dan akhirnya adalah berkenaan dengan isu kawalan sempadan Malaysia-Singapura dengan pembentukan agensi tunggal di sempadan. Dan, di sini saya mengucapkan ribuan terima kasih dan menyokong rundingan yang dibawa oleh Senggarang.

Speaker

Terima kasih.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih kepada Stulang. Seterusnya daripada Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, terlebih dahulu saya mengambil kesempatan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas Titah DiRaja oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor bagi Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri untuk Penggal Ke-14 ini. Sesungguhnya Dewan yang mulia ini selayaknya menjadi saksi bahawa saya dan seluruh pasukan pembangkang negeri Johor dengan penuh kesungguhan akan mentaati titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Kami semua dari Barisan Nasional akan memberikan yang terbaik untuk memastikan segala hasrat dan aspirasi yang dititahkan oleh Tuanku dapat diterjemahkan dengan sebaik-baiknya, Insya-Allah. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan secara rasmi ucapan tahniah Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan selaku kerajaan negeri yang baru. Malah, secara peribadi saya juga berterima kasih atas kesediaan kerajaan negeri untuk mengiktiraf secara rasmi jawatan, kedudukan serta peranan Ketua Pembangkang Johor pada hari ini Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kerana telah menyerahkan kunci bagi bilik Pejabat Ketua Pembangkang pada pagi ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, secara ringkasnya saya boleh merumuskan titah Tuanku Sultan Johor kepada 3 perkara asas.

1. Tuanku Sultan mahukan kita semua selaku Wakil Rakyat memberikan yang terbaik untuk Johor dan masyarakatnya.

2. Kita mesti menghormati dan menjadikan Dewan ini sebagai forum terbaik membincangkan isu rakyat dan;

3. Menjadi tugas kita semua untuk membawa Johor ke tahap yang jauh lebih baik dari sekarang dan tidak membiarkan ideologi politik mengaburi keputusan kita.

Justeru, atas semangat untuk tidak menjadikan Dewan Negeri Johor sebagai sarkas dan dengan peranan vokal yang tidak matang dan kebudak-budakan, saya ingin menegaskan yang Barisan Nasional akan memastikan kami menjadi pembangkang yang terbaik. Kami akan bekerjasama dengan semua pihak termasuklah ADUN-ADUN dari pihak kerajaan negeri selagi mana kami percaya perkara tersebut akan membuahkan kebaikan kepada rakyat Johor. Kami akan menjadikan amalan politik yang progresif dan profesional sebagai tunjang pembangkang malah saya sendiri akan terus komited membuka jalan ke arah amalan politik yang sempurna dan baik. Ini kerana kerajaan negeri malah semua kami di pihak pembangkang telah dipilih oleh rakyat, jadi sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk tidak menghampakan rakyat Johor yang telah memberikan mandat yang besar. Dan memandangkan mandat kita semua sangat besar, maka pembangkang di Johor berikrar akan memberikan khidmat terbaik. Khidmat dalam bentuk, skala dan kematangan yang tidak pernah dipamerkan oleh pembangkang Johor yang sebelum ini. Dalam erti kata lain, selaku pembangkang baru Barisan Nasional tidak akan mengikut dan mencontohi pendekatan dan sikap Wakil Rakyat Pakatan Harapan semasa kalian menjadi pembangkang sebelum ini.

Sejujurnya, tidak banyak yang dapat kami belajar dari sikap dan pendekatan yang hanya pandai mempertikai dan mempersoalkan semua perkara tanpa memberi alternatif dan jawapan terbaik yang dipamerkan oleh pembangkang sebelum ini. Oleh itu Tuan Speaker, saya ingin menegaskan bahawa demi menyantuni Titah Tuanku Sultan Johor dan demi menyuburkan demokrasi yang sihat di Johor pembangkang Barisan Nasional akan menggunakan pendekatan 3 serangkai dalam isu-isu yang kami bangkitkan.

1. Memastikan segala janji kerajaan ditunaikan dengan cara yang sepatutnya. Kita tidak mahu janji-janji yang ditabur sebelum ini yang telah menjadi alasan dan sandaran rakyat dalam membuang undi mereka dimungkiri sesedap rasa oleh kerajaan negeri.

2. Memberi nilai tambah serta idea yang lebih konstruktif kepada segala polisi dan inisiatif baik yang dilakukan. Pembangkang tidak akan membuta tuli dalam membantah, perkara yang baik akan kami sokong dan bantu untuk dijayakan.

3. Mengemukakan alternatif, saranan serta pemikiran baru kepada segala polisi dan inisiatif yang lemah, tidak berkesan serta gagal oleh pihak kerajaan. Pembangkang Johor tidak akan menjadi tin kosong, bak kata pepatah, datang tidak bertambah, pergi tidak berkurang. Walau bagaimanapun, komitmen yang saya janjikan ini hanya terpakai kepada pembangkang daripada Barisan Nasional. Saya tidak berkaitan dengan apa-apa yang dilakukan oleh ADUN-ADUN Bebas yang lain.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sewaktu pemasyhuran...

Speaker

Kita ada satu pembangkang lagi daripada PAS.

Maaf saya tidak berapa dengar.

Speaker

Kita ada seorang lagi pembangkang daripada PAS.

Tapi dia tak datang hari ini kan? Yang Berhormat Tuan Speaker, sewaktu pemasyhuran Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat telah menekankan perkara utama dalam melaksanakan amanah adalah keadilan. Keadilan Yang Berhormat Tuan Speaker, saya amat menyanjung tinggi ucapan ataupun pemasyhuran Yang Berhormat Tuan Speaker. Maka Yang Berhormat Tuan Speaker meletakkan ADUN-ADUN Bebas secara sangat terpencil, itu saya kira bukanlah satu keadilan. Cubalah Yang Berhormat Tuan Speaker fikir-fikirkan kedudukan yang lebih sesuai untuk ADUN-ADUN Bebas supaya mereka menjadi sebahagian daripada kita Yang Berhormat Tuan Speaker.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin memulakan perbahasan ini dengan menghuraikan Titah Tuanku Sultan betapa negeri Johor mesti diuruskan dengan baik dari segala segi. Dalam hal ini, saya ingin menegaskan 2 perkara penting.

1. Kerajaan negeri Pakatan Harapan mewarisi sebuah negeri yang berada dalam kedudukan yang sangat baik. Di bawah pentadbiran Barisan Nasional 5 tahun lepas, buat pertama kali dalam sejarah negara, Johor telah berjaya memintas negeri-negeri yang ditadbir oleh DAP dan PKR seperti Selangor dan Pulau Pinang dalam aspek pelaburan langsung asing FDI. Malah Johor sebagai negeri bukan pengeluar minyak telah menerima FDI tertinggi di negara kita selama 5 tahun berturut-turut dengan jumlah melebihi 3 hingga 6 kali ganda yang dicatatkan oleh Pulau Pinang dan Selangor. Kerajaan Barisan Nasional juga telah berjaya memastikan unjuran fiskal, belanjawan negeri dan hutang negeri berada dalam keadaan terkawal dan positif. Kadar kemiskinan Johor Yang Berhormat Tuan Speaker adalah sifar. Malah rizab Johor berada pada jumlah tertinggi dan meningkat saban tahun. Ringkasnya, kerajaan negeri hari ini mewarisi sebuah negeri yang sihat dan makmur ekonominya. Negeri yang mempunyai kedudukan kewangan yang sangat kukuh dan mempunyai potensi terbaik untuk menjadi kuasa ekonomi selatan negara.

2. Kerajaan negeri sebelum ini telah pun mengenal pasti perkara-perkara kritikal yang mesti diberikan perhatian dalam usaha untuk membangunkan Johor. Antaranya, keperluan untuk beralih kepada kerajaan digital, membangunkan ekonomi kreatif yang berasaskan teknologi dan revolusi industri 4.0, kepentingan menjayakan pelaksanaan pelan pertumbuhan strategik Johor secara berfokus, keperluan membangunkan infrastruktur yang moden dan bertaraf global serta keperluan menyusun strategi yang

khusus dalam agenda mengejar Singapura. Jelaslah bahawa Pakatan Harapan mewarisi Johor yang maju dan diuruskan dengan cemerlang bukannya negeri yang miskin, yang bermasalah dan tidak mempunyai hala tuju. Maka atas dasar itu Yang Berhormat Tuan Speaker, adalah wajar untuk pembangkang menuntut sekurang-kurangnya 6 perkara berikut:

i. Kesemua pencapaian negeri Johor sebelum ini mestilah digandakan dan ditambah baik oleh Pakatan Harapan. Kerajaan negeri mesti memberi nilai tambah dan sumbangan tersendiri dalam perkara ini. Sekadar mewarisi negeri yang baik, tetapi tidak menjadikan ianya lebih baik, pastinya memalukan. Malah, jika kedudukan serta pencapaian ini tidak dapat di tambah baik atau digandakan nilainya, ia sudah pasti akan menjadikan satu bukti kegagalan besar yang amat mengaibkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan negeri. Jadi, sejujurnya kami semua teruja dan amat menantikan pembentangan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tentang pelan pembangunan ekonomi jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk Johor. Pembangkang berharap, pelan yang akan dibentangkan nanti adalah pelan yang akan menyentuh hala tuju pembangunan Johor secara mendasar dan lengkap. Bukan sekadar menukar nama atau mengitar dan mempakejkan semula pelan pertumbuhan strategik Johor atau mana-mana pelan lain yang dibentangkan oleh Barisan Nasional sebelum ini. Harap-harapnya tidaklah pelan pertumbuhan strategik Johor di bentang pula sebagai pelan pertumbuhan strategik Harapan Johor.

Malah kerajaan negeri mesti tampil membentangkan pelan serta strategi kerajaan negeri untuk berhadapan dengan Singapura khususnya komitmen untuk mencari peluang baru dan membawa balik semula kira-kira 300,000 warga Malaysia yang kini mencari rezeki di sana. Di manakah peluang pekerjaan baru yang akan dibuka? Apakah sektor-sektor terlibat yang akan diberikan perhatian untuk berhadapan dengan perkara ini? Perkara ini penting dan kritikal kerana pihak kerajaan Pakatan Harapan sendiri yang selama ini menggambarkan kepada masyarakat bahawa fenomena ekonomi rentas sempadan adalah sesuatu yang begitu buruk dan memudaratkan rakyat Johor.

Seterusnya saya mohon agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor membentangkan juga apakah perancangan kerajaan negeri dalam memastikan Wilayah Pembangunan Ekonomi seperti Iskandar Malaysia di bawah IRDA akan terus diperkasa dan diperkukuhkan. Jangan beritahu kami bahawa di sebalik kejayaan wilayah ekonomi serta IRDA, ia akan ditutup dan menerima nasib seperti program-program lain dalam kerajaan. Dan kalau boleh, sila jelaskan juga apakah perancangan terdekat yang baru oleh kerajaan negeri untuk menjayakan Wilayah Pembangunan Ekonomi Utara Johor seperti yang dijanjikan.

Saya sekadar ingin memperingatkan bahawa di bawah pentadbiran yang lepas, Barisan Nasional telah menjadikan Muar sebagai Kota Perabot Malaysia yang berkepentingan global dengan kedudukan 9 teratas dunia. Malah kita telah berjaya memasukkan Segamat dalam ECER. Jadi, adalah kritikal untuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar menjelaskan pula tindakan lain dan strategi baru kerajaan Pakatan Harapan dalam perkara ini.

ii. Saya mohon Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan kerajaan negeri membentangkan apakah pelan dan strategi Pakatan Harapan untuk orang Melayu di Johor. Adakah akan wujud strategi khusus kepada orang Melayu? Adakah kerajaan Johor kini akan mengguna pakai pendekatan sama rata seperti yang diperjuangkan sebelum ini? Perlu diingatkan bahawa kerajaan negeri sebelum ini telah memperkenalkan dasar bahawa orang Melayu mesti tinggal di bandar, pelan peningkatan peratusan tanah rizab Melayu, inisiatif bagi menyokong penyertaan bumiputera dalam projek-projek mega serta program kelangsungan dan pemodenan sekolah-sekolah agama. Kesemua ini telah Barisan Nasional Johor

bentang dan kongsikan dengan jelas di dalam Dewan ini tanpa bersembunyi dan tanpa bersikap apologetik. Jadi, sebagai perbandingan yang adil, adakah menjadi tugas Yang Amat Berhormat Menteri Besar hari ini untuk membentangkan pula apakah dasar-dasar dan program-program khusus untuk orang Melayu di Johor, terutamanya dasar dan program bagi menjaga kepentingan pendidikan orang Melayu serta pelan pembangunan aset-aset strategik orang Melayu di Johor.

iii. Yang Berhormat Tuan Speaker, Duli Yang Maha Mulia Sultan Tuanku Sultan Johor dalam Titah Baginda turut menekankan kepentingan memberikan perhatian kepada pengurusan sumber alam, tanah, air dan hasil hutan. Justeru selari dengan Titah tersebut perkara ketiga yang ingin saya bangkitkan ialah betapa kerajaan negeri mesti membentangkan pelan khusus berkaitan dengan air di Johor. Lebih-lebih lagi isu air merupakan antara perkara yang sering dibangkitkan oleh Pakatan Harapan sendiri sebelum ini. Dengan mendakwa kerajaan Barisan Nasional telah gagal untuk memberi perhatian dan menguruskan air Johor dengan berkesan. Justeru kami menuntut kerajaan negeri untuk membentangkan penyelesaian alternatif berhubung perkara ini khususnya bagi mengurangkan harga atau tarif air Johor dan memastikan tiadanya gangguan bekalan air di seluruh negeri Johor.

iv. Kerajaan negeri Pakatan Harapan mesti membentangkan akan laporan penuh status dan pencapaian selepas 100 hari pentadbiran dengan tepat dan jelas. Rasionalnya tuntutan kami ini mudah Pakatan Harapan dalam PRU-14 yang lepas sendiri yang berjanji untuk menyempurnakan beberapa perkara dalam tempoh 100 hari. Jadi, kerajaan negeri mesti mengambil tanggungjawab untuk kongsikan kaedah-kaedah, cara-cara yang digunakan dalam memenuhi janji 100 hari tersebut. Pada masa yang sama saya ingin memaklumkan yang kami di barisan pembangkang akan turut mengeluarkan laporan bagi tujuan memantau, menyemak dan menilai pencapaian 100 hari tersebut berdasarkan Manifesto Pakatan Harapan sendiri. Berdasarkan jawapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada pagi tadi. Masih terdapat janji-janji 100 hari yang tidak tetap kerana janji perlukan tetap dan tepat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Duli Yang Maha Mulia Tunku ada menyentuh bahawa kerajaan negeri harus berusaha untuk mendapatkan peruntukkan kewangan kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan bebanan kewangan negeri serta memastikan pembangunan infrastruktur Johor dijalankan dengan baik. Selari dengan Titah itu perkara kelima ialah berhubung dengan status perkembangan serta pendirian kerajaan negeri Johor berhubungan dengan isu-isu yang melibatkan kerjasama dan keputusan oleh kerajaan persekutuan. Banyak sekali isu dan janji yang melibatkan komitmen dan tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang harus dipantau oleh kita semua. Antaranya pertama projek kereta api laju Kuala Lumpur-Johor-Singapura (HSR) dan RAPID Transit Sistem antara Kuala Lumpur-Johor Bahru. Kami berharap kerajaan negeri dapat membentangkan secara lengkap dan jelas apakah status dan perkembangan projek-projek mega ini dan kedudukan kerajaan negeri dalam perkara tersebut. Dalam projek RTS khususnya saya meminta Yang Amat Berhormat Menteri Besar bentangkan secara lengkap perkembangan terkini, atau milestone update dengan izin. Pihak-pihak kontraktor yang terlibat dan kos semasa yang telah diluluskan bagi projek RTS ini. Kita nak tahu hala tuju dan masa depan projek ini. Kalau tidak dibentangkan dengan baik rakyat akan tertanya-tanya. Pada masa yang sama saya juga meminta Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk mengambil pendirian yang tegas dan berprinsip dalam perkara ini. Tidak sekadar mengangguk dan menggeleng mengikut rentak kerajaan Persekutuan. Benar dan

kami akui ia adalah keputusan yang sebahagian besarnya diputuskan oleh Putrajaya tetapi Nusajaya juga mestilah berani dan tegas dalam mengangkat suara Johor lebih serius dan bermakna. Lebih-lebih lagi projek HSR dan RTS melibatkan Johor secara signifikan. Ia bakal memberi banyak manfaat dan kepentingan kepada Johor seperti penghasilan, peluang pekerjaan, jaringan perhubungan pengangkutan darat moden yang lebih baik sekaligus mengangkat Johor sebagai Gerabang Selatan Negara. Malah laluan serta jaringannya banyak melibatkan kawasan-kawasan strategik yang dapat dibangunkan dengan lebih rancak dan berfokus. Semua ini akan menjadi katalis pembangunan Johor yang penting dan tidak boleh dibiarkan untuk diputuskan oleh kerajaan Persekutuan semata-mata.

Kedua, keputusan kerajaan pusat yang gagal dan tidak mahu meneruskan tuntutan Preda Branca dari Singapura. Isu ini tidak memerlukan ulasan dan justifikasi yang panjang. Cukup sekadar saya katakan bahawa keputusan tersebut amat tidak wajar dan sangat memberi kesan buruk terhadap kedaulatan negara dan Johor terutamanya dalam aspek pengiraan persempadanan kedaulatan Maritim antara Malaysia, Singapura dan Indonesia serta penentuan zon ekonomi eksklusif ini melibatkan kawasan perikanan, persempadanan serta peluang-peluang ekonomi lain yang berkait rapat dengan Johor. Adalah amat mendukacitakan jika kita di Johor hanya berdiam diri dan menerima sahaja bulat-bulat keputusan kerajaan Persekutuan tanpa sedikit pun bersuara dan memberikan pandangan kita sedangkan yang terlibat yang akan terkesan yang akan menerima natijahnya secara langsung adalah kita di Johor. Jadi saya berharap kerajaan negeri akan membuat sesuatu berhubung perkara ini. Sekiranya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor buntu, keliru dan tidak tahu mengendalikan isu ini kami di pihak pembangkang bersedia untuk memperjuangkannya.

Ketiga, janji penghapusan hutang yang dipaksakan ke atas peneroka FELDA. Salah satu naratif utama atau modal kempen PRU yang menjadi Manifesto Pakatan Harapan adalah untuk menghapuskan hutang-hutang peneroka FELDA. Perkara ini dijual sebagai satu tawaran utama dalam Manifesto 100 Hari Pakatan Harapan. Asas kepada janji ini kononnya peneroka dan masyarakat FELDA semasa di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional digambarkan sebagai tertekan, tertipu dan tidak dipedulikan. Malah wujud dakwaan kononnya kebanyakan hutang peneroka FELDA adalah hutang-hutang yang dipaksakan ke atas mereka. Justeru memandangkan Johor adalah negeri yang mempunyai kawasan rancangan FELDA kedua tertinggi di Malaysia adalah amat wajar kerajaan negeri membuat tuntutan dan susulan segera berhubung perkara ini.

Speaker

Yang Berhormat, Yang Berhormat ada 5 minit lagi.

Baik, terima kasih Tuan Speaker. 5 minit saya siapkan. Kami ingin tahu adakah janji ini sudah diusahakan, apakah statusnya? Bilakah agaknya para peneroka akan dapat menjadi mereka yang bebas hutang seperti yang dijanjikan. Ini belum lagi kita bercakap tentang kebajikan FELDA, isu keselamatan dan masalah sosial seperti penagihan dadah pelan pembangunan belia FELDA. Kesemua ini memerlukan intervensi segera dan komitmen yang serius daripada kerajaan negeri. Ia tidak seharusnya dibiarkan menjadi tanggungjawab mutlak kerajaan persekutuan sahaja seperti titah Tuanku Sultan kita lebih mengetahui tentang Johor ini berbanding dengan orang luar sebab itulah Barisan Nasional Johor telah mengambil langkah proaktif dan tidak menunggu kerajaan Persekutuan sahaja. Kita telah usahakan banyak perkara untuk FELDA antaranya peruntukkan kira-kira RM30 juta bagi menyelenggara jalan-jalan di FELDA. Peruntukkan RM1.03 juta bagi menyelenggara 65 buah sekolah agama di seluruh FELDA Johor. Rundingan dana RM3 juta untuk pembangunan belia FELDA. Peruntukkan tahunan RM1.5

juta setahun di bawah Tabung Latihan Kemahiran Johor bagi tujuan latihan kemahiran belia FELDA Johor. Inisiatif bagi untuk menjadikan FELDA sebagai wilayah pertumbuhan luar bandar yang dinamik dan bedaya saing serta cadangan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah pewarisan FELDA dalam tempoh 5 tahun. Saya ingin menegaskan bahawa semua ini yang saya bangkitkan kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab dan liabiliti bersama. Kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan dan hanya memberikan jawapan menggunakan skema kitar semula yang dikongsikan oleh semua Wakil Rakyat Pakatan Harapan bahawa ia adalah bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Ingatlah Yang Berhormat Pakatan Harapan dan kerajaan negeri bukankah ia merupakan titah Tunku Sultan sendiri bahawa kita seharusnya berhati-hati apabila membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan kata-kata atau desakan orang luar yang tidak tahu tantang sejarah dan cara pentadbiran negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum membangkitkan isu kelima dan terakhir saya ingin tegaskan di sini bahawa kadar jenayah dan aspek keselamatan negeri Johor telah bertambah baik dengan drastik sepanjang 5 tahun yang lepas antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian yang positif ini adalah kerjasama yang erat kerajaan negeri dengan pihak berkuasa. Masyarakat tempatan serta pengenalan strategi-strategi khusus yang berfokus paling penting kesemua strategik ini disusun dan dipantau oleh EXCO yang memegang portfolio keselamatan. Malangnya portfolio keselamatan ini sudah digugurkan dan tidak lagi wujud di bawah kerajaan negeri yang baru. Sekali pun saya amat saya sangat tidak bersetuju saya menganggap keputusan ini sebagai keputusan yang lemah dan tidak baik saya bersedia mendengar penjelasan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Jadi, persoalan kelima dan terakhir saya apakah justifikasi dan rasional kerajaan negeri tidak menjadikan keselamatan sebagai salah satu portfolio kerajaan negeri. Apakah tindakan dan pelan yang akan diambil berhubung dengan isu-isu keselamatan memandang ia sudah tidak dipantau dan diletakkan di bawah satu portfolio khas.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya minta betulkan sebab EXCO Kesihatan kita ada, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan kita tak gugurkan.

Keselamatan, minta maaf kalau saya salah sebut. Portfolio Keselamatan.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Saya dengar Kesihatan.

Speaker

Teruskan.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, pihak Pembangkang Barisan Nasional yang segala isu dan persoalan yang kami bangkitkan ini akan diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan negeri. Saya harap isu-isu ini tidak akan dipolitikkan dan diketepikan begitu sahaja. Memandangkan kesemuanya adalah isu-isu besar yang mesti memberi kesan langsung kepada rakyat Johor. Sebelum akhir sekali lagi saya berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk membahaskan titah DiRaja bagi Persidangan kali ini. Harap harapan kami janganlah dihancurkan kepercayaan dan dirompak keyakinan rakyat yang telah memberikan mandat dan harapan kepada kerajaan negeri. Kalau kekayaan dan rompakan wang negara kita namakan sebagai kleptrokrasi saya yakin rompakan keyakinan dan harapan ini bolehlah digelarkan sebagai kelentongkrasi. Saya yakin kerajaan negeri tidak mahu menjadi kerajaan klentongkrasi. Sekian, terima kasih Tuan Speaker. Saya mohon menyokong

Speaker

Ok, terima kasih kepada Benut. Dan, terima kasih atas saranan kedudukan Bebas yang berada di belakang. Saya akan bincang dengan Jurutulis tentang kedudukan Bebas di belakang. Tetapi sayang juga ya Benut kepada Bebas ya, sayang juga. Insya-Allah masa pun dah agak lewat cuma ada sedikit makluman ini daripada RTM dia suruh sebut kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat rangkuman Perbahasan setiap hari akan disiarkan di Johor FM Permata Selatan 101.9FM dan melalui e-myklik Johor FM pada 10.05 malam dan ulangnya 8.15 pagi keesokan harinya. Selain itu isu-isu menarik yang dibahaskan juga akan diulas oleh ADUN atau EXCO berkenaan secara live pada 12.30 tengah hari di Johor FM. Jadi, itu sahaja untuk tengah hari ini. Insya-Allah kita, Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari.

Persidangan disambung pada jam 2.30 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Selamat petang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Jemput, Simpang Jeram.

Datuk Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Puan Speaker, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Doa. Firman Allah yang bermaksud, “yang demikianlah mereka yang apabila kami berikan kedudukan, kekuasaan di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengajak manusia kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Kepada Allahlah kembalinya segala urusan”.

Puan Speaker. Ampun Tuanku, adalah patik yang bersidang pada hari ini mengambil kesempatan dan ketetapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor Yang Keempat Belas.

Puan Speaker, pertamanya saya mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan dan mengucapkan tahniah di atas pelantikan Tuan Speaker dan Timbalan Speaker dan mengharapkan...

Timbalan Speaker

Terima kasih.

Datuk Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

... Pelantikan ini akan memartabatkan kedudukan Dewan yang mulia ini dan sudah barang pasti rakyat mahu melihat suatu anjakan ke arah pemeliharaan dan bagaimana demokrasi akan dapat diterjemahkan dalam bentuk yang sebenarnya. Puan Speaker, saya juga merakamkan terima kasih dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat rakan saya sebagai Menteri Besar Negeri Johor dan pasukan EXCO yang telah dibentuk dan kita yakin dan percaya bahawa mandat ini bukan suatu barang dagangan, bukan suatu yang harus kita terima dengan tempik sorai dan gelak ketawa, tetapi suatu anugerah, amanah yang mesti dipertanggungjawabkan untuk memelihara kembali nama baik negeri Johor dan juga segala apa yang diamanahkan kepada kita.

Saya juga mengucapkan terima kasih dan juga tahniah kepada rakan saya, Benut yang menjadi Ketua Pembangkang pada kali ini. Mungkin konotasi ataupun naratif perkataan Pembangkang itu sering kali membawa nilai yang negatif dalam masyarakat. Ini masanya bagi saya, kita semua memurnikan kembali perkataan itu dan kalau sekiranya kita menyemak kedudukan pembangkang dalam negara-negara maju, seperti dalam The House of Common di United Kingdom, ketua pembangkang itu dipanggil Her Majesty’s, most loyal position. Begitu juga negara-negara maju mengangkat dan mamertabatkan kedudukan

ketua pembangkang, dan kami harap peranan check and balance ini akan dapat dimainkan secara jujur, tanggungjawab dan bukan lagi dalam naratif lama, kami kerajaan, kamu pembangkang, maka berlakulah perkelahian dan persengketaan yang tidak kunjung padam.

Timbalan Speaker, saya juga menjunjung kasih di atas hasrat Tuanku untuk melihat bagaimana segala kemuliaan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh negara ini dan negeri ini dipelihara. Dan saya memberikan jaminan bahawa kedudukan dan hubungan antara raja dan rakyat mesti diperkukuhkan. Kita punya Perlembagaan yang utuh, yang tidak tersentuh dan kita punya Perlembagaan Negeri yang pastinya dihormati. Satu naratif yang dikisahkan kembali dan diungkapkan dengan perkataan sastera Melayu yang paling purba dan anotasi yang paling klasik ialah sebagai yang tercatat dalam kitab sejarah Melayu yang ditulis, dikaji dan ada di antaranya membuat tesis penting dalam perakuan PhD mereka yang menelaahnya.

Saya ungkap kembali pada petang ini untuk kita kembali menghayati bagaimana orang Melayu ini ada perjanjian, ada suatu konvensyen yang murni walaupun ia dianggap sastera sejarah yang diabadikan dan dijadikan suatu yang penting dalam kita mengkisahkan kembali tentang taat raja, rakyat kepada raja dan bagaimana pula tindak balas raja terhadap rakyat. Saya ungkap kembali dalam suatu buku yang ditulis oleh Profesor Datuk Sidek Fadil dalam mengungkap kembali tentang sejarah Demang Lebar Daun dan Titah Sangsa Purba ini. Dengan kata-kata, ‘Ada pun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan menjadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan. Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu Duli Tuanku dan jika ia berdosa sebesar-besar dosa pun, janganlah diaibkan, dinistakan dengan kata-kata jahat, jikalau besar dosanya, dibunuh. Itu pun kalau berlaku tidak melanggari hukum syarak. Maka Sangsa Purba pun bertitah, ‘akan minta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji dari bapa hamba’. ‘Janji yang mana itu tuanku?’ ‘Hendaklah di akhir zaman kelak, anak-anak cucu bapa hamba, jangan derhaka kepada anak cucu kita. Jikalau zalim dan jahat pekerti sekalipun’. ‘Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkannya’, titah Sangsa Purba. Maka dalam kisah ini, berlakulah satu naratif, suatu dialog, suatu interaksi bagaimana dua institusi penting rakyat dan raja itu diperakukan. Dan kami daripada Pakatan Harapan memberikan jaminan walau apa pun keadaan sekalipun, in whatever circumstances, dengan izin, maka kedudukan raja ini akan kami pelihara kan dan kita pelihara kan. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan akan kita pegang utuh. Apa yang tercatat utuh dalam Perlembagaan Negeri Johor akan kita pastikan ia berlangsung dan berjalan dalam tatasusila, adab dan juga perilaku dan budi pekerti sebagai Bangsa Johor yang mahu kita angkat seutuhnya. (Dewan bertepuk).

Puan Timbalan Speaker, dalam naratif itu saya ungkapkan kembali tentang Bangsa Johor di mana ia bermula, ada latar belakang sejarah yang penting, Yang Mulia Maharaja Abu Bakar memerintah negara ini di saat negara lain tidak ada perlembagaan, tidak ada suatu peraturan pada waktu itu. Maka pelabur-pelabur, pekerja-pekerja asing datang untuk memenuhi suatu konsep dan suatu boleh katakan aliran FDI pada waktu itu dengan sistem kangchu diperkenalkan di negeri Johor. Maka, datanglah mereka ke negeri ini bekerja di ladang-ladang getah, lada hitam dan gambir. Dan lama kelamaan mereka ramai dan diperakui oleh Maharaja Abu Bakar bahawa mereka adalah rakyat negeri Johor dan di situ lah bermula naratif apa yang dikatakan Bangsa Johor. Sebab itu kami daripada Pakatan Harapan mendukung konsep Bangsa Johor ini, kerana apa? Ia bukan bertolak daripada asas perkauman, dia bukan bertolak pada asas satu kaum, dia bukan bertolak di atas satu pandangan yang sempit, tetapi atas keluasan seorang pemerintah Johor yang pada waktu itu yang telah membawa suatu gagasan pemikiran yang besar yang saya rasa pada hari ini, insya-Allah Yang Berhormat rakan saya Dato’ Menteri Besar Johor akan membawa konsep ini pada suatu dimensi yang lebih luas, insya-Allah. Kerana kita yakin, tanah Johor, kedudukan strategiknya yang ada pada hari ini menjadi begitu penting dan ini masanya untuk kita menjadikan Bangsa Johor ini akan dapat kita ungkap daripada apa yang kita sebut economy of scale, permainan ekonomi yang lebih besar, yang lebih pantas memajukan negeri Johor, kita punya segala facilities, kita punya segala legenda, sejarah yang boleh kita agungkan, kita ada hubungan yang baik dengan Singapura, rantau Asia

Tenggara dan Johor sendiri boleh berdiri kukuh di samping mungkin kerjasama yang utuh daripada kerajaan pusat untuk melangkah sendiri, insya-Allah ke arah menarik pelabur yang lebih luas dalam negeri Johor ini, insya-Allah.

Puan Speaker, saya juga ingin mengungkapkan di sini tentang bagaimana Pakatan Harapan ini membawa falsafah yang perlu kita kongsi bersama iaitulah tentang good governance, dengan izin. Adalah terlalu mudah untuk menyebut perkataan good governance, menyelak kamus, mencari definisi paling baik. Tetapi apakah sebenarnya makna good governance? Dalamnya ada terkandung nilai integriti, keamanahan yang Allah sebut dalam al Quran (membaca firman Allah) ayat ini menunjangkan tentang amanah itu mesti diberikan kepada mereka yang berhak sehingga ayat yang menyebabkan turun ayat ini ialah bagaimana kunci Kaabah itu mesti diserahkan kepada mereka yang menjaga pintu Kaabah, keluarga yang dihormati dan walaupun mereka pada waktu itu belum lagi menganut agama Islam. Atas nilai keadilan itulah, nilai amanah itulah, maka kita melihat Islam itu tegak dengan bagaimana amanah itu diberikan kepada mereka yang ahlinya. Telah banyak kali saya memberikan ucapan di luar Dewan sebelum daripada ini, tak ada kesempatan masuk Dewan, maklumlah Johor bukan mudah untuk masuk dalam Dewan Undangan Negeri Johor, walaupun saya orang Johor, petang ini saya ingin merakamkan apa definisi sebenarnya integriti dan good governance.

Rakan di sebelah sana, rata-rata daripada UMNO, MCA dan MIC. Saya berkesempatan menelaah pemimpin-pemimpin yang baik suatu waktu dulu yang telah pun meninggalkan legasi penting. Ingin saya kongsi satu, dua kisah bagaimana mereka melaksanakan apa yang dikatakan integriti. Allahyarham Tun Razak, pemimpin UMNO yang diingati sampai hari ini. Suatu kisah yang saya dah cerita lama, hari ini saya ingin rakamkan dan akan di rekod dalam Dewan yang mulia ini. Satu bulan sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Beliau menelefon Tun Razak, Tun Razak menelefon Tun Tan Siew Sin daripada kota raya London. Mungkin dia rasa ajalnya telah sampai, yang meminta Tun Rahah dan anak-anak dibawa terbang dari Kuala Lumpur ke kota raya London. Dalam perbualan telefon itu, yang saya baca tersimpan rapi dalam Arkib Negara, Tun Tan Siew Sin mengatakan, Menteri Kewangan pada waktu itu, “minta maaf Tun, Tun hanya layak untuk dapat Tun Rahah sahaja tiket percuma untuk datang ke London”, anak-anak tak boleh, tak masuk dalam… kerajaan, tak masuk dalam keistimewaan Tun sebagai Perdana Menteri. Itu percakapan seorang Menteri Kewangan bukan Melayu, bukan Islam yang bercakap dengan ketuanya, dengan bosnya sebagai Perdana Menteri. Yang dia tahu Tun ini mungkin umurnya tak panjang, moralnya bagaimana orang Cina ini menjaga integriti, menjaga setiap sen duit rakyat yang perlu dipertanggungjawabkan. Maka akhirnya kawan-kawan Tun kutip derma untuk melayakkan anak-anak yang lain ikut serta dan hanya Tun Rahah saja dia bayar tiket kapal terbang daripada pihak kerajaan.

Tidak perlu kita berhempas pulas mencari makna integriti. Tidak perlu ada seminar agung untuk kita mencari apa sebenarnya integriti tetapi kita harus kembali untuk jadi pemimpin-pemimpin seperti ini. Menjaga setiap sen duit rakyat, kalau tadi Yang Berhormat daripada Benut mengatakan bahawa ia perlu kita teruskan sara hidup FELDA, perlu untuk kita sambung perjuangan peneroka FELDA, betul kita mahu meningkatkan hidup mereka. Bagaimana kita mahu teruskan masuk FELDA hari ini duitnya zero. Dulu ada RM13 bilion, saya tidak minat untuk membawa naratif lama ini, tapi kerajaan baru ada tanggungjawab, kerajaan baru akan terus mencari dan berikhtiar mencari ganti kerugian yang hampir RM13 bilion ini dan insya-Allah kalau kami segera mendapat kembali kekuatan ini banyak lagi, insya-Allah kebajikan peneroka FELDA yang akan kita abadikan dan kita berikan pada masa yang akan datang.

Tapi ini memerlukan komitmen kita semua, mesti kita kembalikan integriti ini. Kalau Tun Razak boleh, kalau Tan Siew Sin boleh pada waktu itu kenapa kita tidak boleh. Kalau Tun Razak Melayu, kita ini siapa. Kalau Tan Siew Sin itu Cina sekarang ada sapa, ada Guan Eng, hari ini kita ada ramai EXCO kita yang ada pada hari ini, kita ada Tan Hong Pin, kita ada hari ini Liow Cai Tung semua ada, kalau dulu kita ada Tun Sambanthan dulu kita ada Tan Sri Manikavasigam yang dianggap negarawan ulung,hari ini kita ada ramai tokoh-tokoh

India. Mengapa tidak dalam naratif kita bangunkan kembali negara dan negeri ini. Kalau kita berjaya untuk menjaga setiap sen duit rakyat masuk dalam Perbendaharaan kita, maka Johor bangsa Johor ini akan tidak payah bersusah payah untuk berjuang terpekik terlolong bersuara kuat untuk mengangkat darjat kita our action speak louder, dengan izin.

Akhlak kita akan bercakap, perangai kita akan menerjah jiwa manusia dan insya-Allah kalau kita baik, kalau kita punyai integriti, kalau kita punya wibawa insya-Allah Pakatan Harapan mungkin tidak boleh dikalahkan. Saya masih berlapik ya, saya guna mungkin because we are human being, we are not angel. Kita bukan Malaikat, kita manusia biasa tapi kalau kita kembali untuk mengambil naratif ini saya kena percaya rakyat yang di luar sana yang lebih cerdik pada hari ini akan memberikan sokongan kepada kita, insya-Allah atas nama Pakatan Harapan.

Yang Berhormat Speaker, sebagai Menteri Pertanian saya akan bergabung tenaga dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk menjadikan Johor insya-Allah sebuah negeri yang penting dalam sektor pertanian. Saya berhasrat untuk menjadikan Johor hab pengeluaran daging, Johor ada lagi tanah-tanah yang luas, ada pemain-pemain tempatan dan pemain-pemain antarabangsa yang mula menunjukkan minat. Kita akan jadikan Johor hab kerang-kerangan, pantai Johor daripada Pantai Batu Pahat sampai ke Tanjung Piai tidak sama dengan Pantai-pantai Melaka, Selangor, Perak, Kedah dan seumpamanya.

Dan kajian yang dibuat baru-baru ini pantai daripada Batu Pahat ke Tanjung Piai adalah tempat yang subur untuk projek kerang-kerangan. Harga kerang hari ini bukan 1 kg RM0.30 sen lagi. Harga kupang hari ini 1 kg bukannya RM1.00 lagi, paling-paling murah di pasar pun RM8.00, RM9.00, RM10.00, RM12.00 kadang-kadang sampai RM15.00 satu kilo. Insya-Allah dengan kudrat yang ada sepakatan kerajaan pusat dan negeri kita boleh menjadikan satu realiti bahawa pantai dari Batu Pahat sampai Tanjung Piai akan kita bangunkan sebagai hab kerang-kerangan terbesar di Malaysia, insya-Allah. (Dewan bertepuk).

Minggu depan saya akan bersama dengan...

Timbalan Speaker

YB sila gulung.

Datuk Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Menteri untuk saya pergi ke China ada 2 perkara yang tidak selesai dalam industri penting untuk kita penetrate dengan izin pasaran besar China iaitu tentang durian dan juga sarang burung. Insya-Allah dalam kunjungan kali ini, delegasi kali ini sekiranya kita dapat sain tandatangani protokol durian dan sarang burung ini Johor juga destinasi yang terbaik. Tanah kita masih luas untuk ditanamkan dengan variety buah-buahan, kita ada nanas MD2, kita ada pelbagai tanaman yang subur, kita ada kelapa status kelapa yang boleh dibangkitkan industri ini dan saya yakin bahawa Johor akan boleh menjadi hab buah-buahan dan tanaman-tanaman, insya-Allah.

Masa tidak mengizinkan saya, terima kasih di atas ucapan pertama di bumi bertuah ini sebagai anak Johor, saya akan bersama dengan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, bersama dengan Yang Berhormat Menteri Besar Negeri Johor untuk menjadikan Johor negeri termaju insya-Allah dalam Persekutuan Malaysia. Terima kasih, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Seterusnya saya mempersilakan YB Sedili.

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh (Doa). Terima kasih Yang Berhormat Speaker, selamat tengah hari dan salam sejahtera kepada Yang Berhormat Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan rakan-rakan Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan kerana berjaya membentuk kerajaan Negeri Johor selepas di pilih rakyat pada PRU14 baru-baru ini.

Tidak lupa juga kepada rakan-rakan Yang Berhormat daripada Barisan Nasional biarpun tidak lagi memegang tampuk pimpinan kerajaan negeri Johor namun sebahagian besar rakyat ini juga masih memilih BN sekali gus saya berharap rakan-rakan BN dapat kuatkan semangat dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti sebelum ini.

Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan menjunjung kasih titah Ucapan Duli Yang Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan yang dipertua bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim Bagi Persidangan Pertama Dewan Negeri bagi kali yang ke - 14. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim JDT kerana berjaya merangkul kejayaan Liga Super buat 5 kali berturut-turut dan kejayaan itu lebih bermakna kerana membolehkan skuad Harimau Selatan melayakkan diri ke Kejohanan Liga Juara-Juara Asia, musim depan buat pertama kalinya.

Sesungguhnya sebagai bangsa Johor kita berbangga dengan pencapaian tersebut hasil usaha Tunku Mahkota Johor yang mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini. Sebagai bangsa Johor kami percaya akan ada lebih banyak lagi kejayaan yang akan dilakar pasukan JDT di masa-masa akan datang. Tahniah Tuanku.

Yang Berhormat Speaker, seperti titah ucapan Duli Yang Mulia Sultan Johor semasa merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama ke -14 pada 9 Ogos lalu. Persidangan kali ini melakar satu sejarah kerana pertama kali berlaku perubahan yang menyeluruh kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang menyaksikan parti gabungan Pakatan Harapan mentadbir negeri ini. Baginda juga menegaskan bahawa perubahan itu bukan bermakna wujudnya satu kerajaan yang baru tetapi hanyalah barisan kepimpinan yang baru atau dengan izin rolling government yang mentadbir kerajaan negeri Johor dengan asas tujuan yang kekal sama iaitu menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

Dengan itu, saya menyokong serta menjunjung titah Tuanku yang mahukan mana-mana program yang baik dan telah dibuat oleh pentadbiran terdahulu dikekalkan atau ditambah baik dan bukannya terus diberhentikan.

Yang Berhormat Speaker, sebagai Wakil Rakyat yang sudah diberi mandat oleh rakyat maka sudah menjadi tanggungjawab saya menjadi suara rakyat dan menggunakan platform yang saya ada dalam Dewan yang mulia ini untuk membangkit berbagai isu serta permasalahan rakyat saya di Sedili sekali gus memperjuangkan apa yang dimahukan oleh mereka. Bebas bukan sebarang bebas, bebas kerana ada makna. Dan selain daripada isu-isu tempatan perkara yang banyak disuarakan rakyat kebelakangan ini adalah berhubung tawaran Pakatan Harapan iaitu janji yang diberikan semasa PRU 14 baik yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, mahupun dalam tempoh 5 tahun kepada rakyat janji tetap janji maka mereka mahu janji itu ditepati.

Jika mengikut beberapa laporan akhbar prestasi perlaksanaan manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan di negeri ini pada PRU 14 yang lepas sudah mencapai 85% manakala bakinya 15% akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari. Biar pun Yang Amat Berhormat Menteri Besar memberikan jaminan bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan tawaran yang diberikan namun sehingga kini rakyat tidak dimaklumkan dengan terperinci apakah yang sudah dan akan dilaksanakan.

Sebentar tadi Yang Amat Berhormat baru sahaja menjawab soalan daripada Rengit 10 janji Pakatan Harapan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, ialah:

1. Jawatan Menteri Besar masih maksimum penggal telah dijelaskan, rakyat tak tahu lagi. Tender terbuka semua tender kerajaan telah dilaksanakan. 2. Air percuma 10 meter padu air percuma kediaman kepada golongan D40. 3. Bekalan air berkualiti tanpa gangguan dah diselesaikan

4. Hapuskan kuota menegakkan kerajaan dalam pengagihan Rumah Mampu Milik Johor telah diselesaikan dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. 5. Kad sihat Johor RM500 setahun bagi golongan D40 baru dilancarkan pada September , belum dilaksanakan lagi. 6. Skim Takaful Warga Emas manfaat RM1000.00 kepada pewaris telah dilancarkan, tahniah. 7. Insentif IPTD RM1000.00, pelajar yang berjaya memasuki IPTA bagi golongan D40 telah dilaksanakan, tahniah. 8. Insentif perkahwinan kelompok kursus perkahwinan percuma untuk yang pertama kali kahwin bukan yang kali yang kedua kahwin akan dilaksanakan pada September, belum dilaksanakan lagi. 9. Pengecualian lesen penjaja Pihak Berkuasa baru dilancarkan malam tadi. 10. Bayaran tunggakan sewa PPR diskaun 15% telah dilaksanakan,

Alhamdulillah, kini sudah hampir 100 hari kerajaan negeri Pakatan Harapan memerintah namun belum ada lagi kedengaran perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi memajukan negeri Johor ini. Jika kerajaan negeri kepimpinan BN dahulu mahu melihat Johor muncul sebagai kuasa ekonomi baru, bagaimana pula kerajaan negeri Pakatan Harapan mahu promosikan Johor ini.

Rakyat kini sedang menunggu dengan penuh harapan apakah yang akan dinikmati dan akan ditawarkan kerajaan negeri Pakatan Harapan kepada bangsa Johor dalam berbagai sektor termasuk limpahan ekonomi, pekerjaan, perumahan dan pendidikan dan bangsa Johor tentu sekali tidak mahu melihat perancangan yang terkebelakang.

Takkanlah sehingga hari ini kerajaan negeri Pakatan Harapan hanya mahu merancang untuk menukar label dan jenama bas Muafakat Johor kepada bas Harapan Johor sahaja sehingga mengundang kemarahan segelintir bangsa Johor walaupun ia tidak mewakili keseluruhan suara rakyat Johor, namun mereka tetap rakyat negeri ini yang turut bersama memilih pada PRU 14 yang lepas. Itu hanya sekadar contoh Yang Amat Berhormat. Bagaimanapun, saya sentiasa percaya setiap orang itu mempunyai kelebihan masing-masing. Begitu juga kerajaan negeri Pakatan Harapan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian maka sudah tiba masa kerajaan negeri yang dibarisi kepimpinan baru ini menunjukkan kelebihan sekali gus membuktikan kepada rakyat kemampuan yang ada. Kerajaan negeri Pakatan Harapan perlu ingat bahawa gabungan itu bukan lagi Pembangkang tetapi parti yang memerintah, justeru adalah wajar mereka memberi tumpuan kepada usaha untuk terus membangunkan negeri Johor yang kita sayang ini. Dan hentikan berpolitik kerana saya percaya rakyat juga sudah muak dengan cakap-cakap politik. Biarpun ada yang berpendapat kerajaan negeri Pakatan Harapan sekarang menang kerana permainan persepsi yang dimainkan mereka. Namun hakikatnya, yang menang tetap menang dan kalah tetap kalah. Maka adalah wajar apabila sudah menang, segala janji yang ditawarkan sebelum ini ditunaikan kerana rakyat sudah pun memilih dan memberi kepercayaan kepada pimpinan kerajaan negeri yang baru ini. Dalam bahasa mudah buatlah kerja dan hentikanlah berpolitik maka besarlah harapan saya agar kerajaan negeri sekarang dapat memenuhi janji yang dibuat kepada rakyat.

Yang Berhormat Speaker, di sini saya juga ingin membangkitkan mengenai isu-isu tempatan di kawasan Sedili. Isu yang saya anggap sebagai isu lama yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan seperti masalah air, khasnya di kawasan Gugusan Waha, Bukit Waha dan Bukit Easter. Air di kawasan ini amat kritikal dan ia sudah berlanjutan hampir 20 tahun. Apabila berlaku masalah air, ia akan membabitkan kira-kira 15,000 penduduk di Gugusan FELDA tersebut. Dengan itu, saya meminta kerajaan negeri dan pihak terlibat dapat membina sebuah tangki air yang ada sepertimana di taman-taman perumahan supaya air dapat disalurkan terus kepada penduduk di ketiga-tiga kawasan itu apabila berlaku masalah air. Selain itu juga, masalah pembabitan, membabitkan Jalan Kota Tinggi ke Mersing terutama di kawasan Bukit Samsu yang bukan sahaja kerap berlaku kemalangan malah ia sering dinaiki air terutama apabila waktu hujan.

Semalam sahaja Yang Berhormat Speaker, ada lagi satu kes kematian. Setakat daripada Januari hingga ke hari ini ada 134 kes yang melibatkan 80 lebih orang kematian. Saya juga ingin meminta kerajaan negeri untuk memberi tumpuan kepada sektor pelancongan di kawasan Sedili kerana sememangnya Sedili mampu menjadi salah satu tempat tarikan pelancongan yang lebih tertumpu kepada konsep pelancongan mampu milik. Di Desaru sekarang sedang rancak dibangunkan dengan berbagai tarikan pelancong yang saya percaya hanya mampu dikunjungi golongan berkemampuan. Dan atas sebab itu, Sedili dapat memenuhi keperluan pelancongan mampu milik yang tidak ditawarkan di Desaru. Maka besarlah harapan saya untuk melihat Sedili ini diberikan tumpuan dalam usaha menambah baik kemudahan di Sedili selain membangunkan kawasan di situ sebagai tempat pelancongan. Baru-baru ini saya bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta telah menganjurkan program menghimpunkan kereta klasik Volkswagen Beatle dan Combi yang melibatkan penyertaan peserta dari negara Asean seperti Singapura, Indonesia, Thailand serta peserta tempatan. Rata-rata mereka yang pertama kali berkunjung di Sedili, terkejut dengan keindahan yang ada di Sedili dan menyatakan hasrat untuk kembali makan angin di situ. Dan saya percaya hasil penganjuran program itu, secara tidak langsung telah berjaya menjual nama Sedili dan tidak mustahil suatu hari nanti Sedili muncul antara tempat tarikan pelancongan-pelancongan utama di negeri ini. Yang Berhormat Speaker, akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana diberi kesempatan untuk berucap dalam Dewan yang mulia ini. Pada masa sama, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Sedili, di atas kepercayaan yang telah mereka berikan kepada saya dengan memilih saya sekali lagi untuk mewakili mereka pada penggal ini. Sesungguhnya segala keputusan dan tindakan yang saya buat adalah demi untuk pengundi saya di Sedili. Saya telah diamanahkan oleh mereka untuk menjadi pengantara antara rakyat dan kerajaan, maka saya akan terus berjuang dengan kemampuan dan keringat saya demi rakyat Sedili. Yang Berhormat Speaker, kalau di sebelah sana pihak pembangkang ada pejabat. Kita di Bebas..

Timbalan Speaker

Bebas juga nak pejabat?

Kita pun nak pejabat juga. Kerana inilah pertama kali di negeri Johor berlakunya calon-calon Bebas. Jadi saya minta kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, supaya dengan prinsipnya soal adil. Inilah adil, kalau Pembangkang di sana ada pejabat…

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Lantik Ketua Bebas dulu..

Di sini pun ada pejabat. Kalau di sana ada elaun, di sini pun ada elaun. Inilah baru dikatakan kerajaan Harapan yang adil.

Timbalan Speaker

Tapi dapat peruntukan bukan.

Oleh itu sebab itu, sekian terima kasih Sedili menyokong. Sekian, terima kasih.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Peruntukan.

Timbalan Speaker

Saya jemput YB Kahang.

Salam Sejahtera, salam perpaduan, salam muafakat Johor, Yang Berhormat Puan Speaker. Terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam Perbahasan Ke Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Yang Berhormat Sedili, minta semua elaun sama macam Ketua Pembangkang tapi dia dapat peruntukan lebih dia tak nak cakap dekat Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Puan Speaker, terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Speaker dan juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli MMK dan juga kepada semua Ahli-Ahli Dewan kerana dipilih dan juga kepada kerajaan Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang baru. Yang Berhormat Puan Speaker, Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Tuanku telah bertitah bahawa, “Mana-mana program yang baik yang telah pun dibuat oleh pentadbiran terdahulu, iaitu kerajaan Barisan Nasional perlu dikekalkan atau ditambah baik dan bukannya terus dihentikan”. Dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar pagi tadi ketika menjawab soalan lisan juga telah memberikan penekanan yang sama bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak akan terus menghentikan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional malah akan menyambung ataupun membuat penambahbaikan. Yang Berhormat Puan Speaker, dalam Bajet tahun 2018 yang telah pun dibentangkan oleh Mantan Yang Amat Berhormat Menteri Besar menerusi kerajaan Barisan Nasional pada bulan November 2017 beberapa perkara telah pun diputuskan di mana ianya sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2018. Pertama sekali ialah berkaitan dengan dalam konteks pengambilan kakitangan awam yang pelbagai dan inklusif. Di mana dalam Bajet 2018 telah pun dinyatakan dengan terang sekali pada tahun 2018, setiap PBT di negeri Johor perlu mengambil sekurang-kurangnya 5 orang kaum India dalam pelbagai gred dan pangkat di setiap PBT di negeri Johor. Termasuk PBT yang terbaru iaitu Pengerang, maknanya 16 PBT, dengan 5 orang dalam setiap PBT maknanya 80 orang daripada masyarakat India sepatutnya diambil untuk bekerja di peringkat PBT. Jadi saya ingin tahu di manakah peringkat pelaksanaan perkara tersebut kerana Yang Berhormat Speaker, ini adalah sesuatu yang baik, baik untuk negeri Johor memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk terlibat dalam sektor awam khususnya di peringkat kerajaan negeri Johor. Di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini juga kita sudah ada Pegawai Perhubungan Masyarakat India. Di setiap Pejabat Daerah, kita ada Pegawai India di setiap Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebenarnya pada tahun 2018 sekiranya kerajaan Barisan Nasional masih lagi berkuasa sepatutnya pelaksanaan pengambilan masyarakat India di dalam PBT sepatutnya dilaksanakan. Jadi saya berharap kerajaan Pakatan Harapan akan melihat kepada perkara ini dan saya juga ingin tahu keputusan daripada pihak EXCO sama ada perkara ini akan dilaksanakan ataupun tidak? Sekiranya tidak dilaksanakan apa alasannya dan sekiranya pelaksanaannya akan dibuat, bila ia akan di laksana? Saya telah pun mencadangkan kepada MMK pada penggal lepas, di antara 80 orang yang akan diambil bekerja dalam PBT ini, sekurang-kurangnya 10 jawatan mestilah jawatan di peringkat Pegawai Perhubungan Awam. 10 Pegawai Perhubungan Awam sekurang-kurangnya N41 dan ditempatkan di 10 PBT yang terbesar di negeri Johor. Jadi cadangan tersebut juga telah pun disampaikan kepada Mantan EXCO yang menjaga KPKT, jadi saya harap EXCO yang ada pada hari ini akan meneliti perkara ini dan satu keputusan yang baik akan dilaksanakan kerana dari segi ekonomi, ini juga akan membantu masyarakat India. Pada masa yang sama, masyarakat India juga memang minat terlibat dalam sektor awam di negeri Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, pada hari ini negeri Johor berada dalam landasan yang betul di mana dengan izin, Johor akan menjadi The New Economic Power House of Malaysia. Jadi dalam konteks menjadi Economic Power House of Malaysia, jangan hanya melihat dalam konteks berapa banyak pelaburan yang dibawa masuk ke negeri Johor. Jangan hanya lihat dalam konteks surplus bajet ataupun dari segi ekonominya, tetapi untuk menjadi sebuah Economic Power House, di mana apabila pelabur-pelabur ingin, kita menarik pelabur masuk ke negeri Johor, perkara pertama yang akan diambil kira oleh pelabur-pelabur tersebut, adakah Johor mempunyai tenaga kerja yang mahir?Kerana perkara ini cukup penting. Pelabur yang masuk ke negeri ini yang melabur berjuta ringgit, berbilion ringgit, mereka memerlukan tenaga kerja mahir untuk menjalankan operasi mereka. Sekiranya negeri Johor tidak dapat menawarkan tenaga kerja tersebut, maka pelabur-pelabur tersebut terpaksalah ke negeri lain seperti di Sabah, di Terengganu, Sarawak dan sebagainya, membawa mereka masuk ke negeri Johor. Sekiranya ini juga tidak berlaku, maka pelabur-pelabur tersebut, terpaksa membawa pekerja asing untuk terlibat dalam sektor ataupun operasi mereka di negeri Johor ini. Jadi sebab itulah kalau kita lihat di negeri Johor ini kita ada Unit Swadaya Insan Negeri Johor yang telah pun ditubuhkan pada penggal lepas dan negeri Johorlah negeri yang pertama di Malaysia, kita melihat kepada hala tuju yang jauh, kita telah tubuhkan Unit Swadaya ini ataupun Johor HR, Johor Human Development Capital nak panggil apalah, tetapi tujuan dan fungsinya ialah utnuk memastikan Johor bersedia untuk menerima cabaran dalam konteks pekerja mahir dan apakah kursus-kursus yang harus kita lihat, kita teliti untuk memastikan semua kursus yang ditawarkan di negeri Johor selaras dengan kehendak pasaran dan sebagainya. Jadi kalau kita lihat dalam Bajet 2018, sekali lagi kita ada satu Dana Tabung Latihan Kemahiran sebanyak RM5 juta untuk kursus ataupun latihan-latihan kemahiran, RM2 juta untuk masyarakat umum, RM1.5 juta untuk belia FELDA, RM1.5 juta untuk belia masyarakat India. Jadi saya ingin tahu sama ada dana ini ataupun tabung ini telah pun dilaksanakan, di peringkat mana tabung ini sekarang berada, apakah usaha-usaha kerajaan negeri untuk memastikan kita melatih ataupun membuat persediaan untuk melatih belia-belia kita khususnya belia-belia FELDA dan kaum India dan apakah kursus-kursus yang diberi penekanan oleh kerajaan negeri Johor pada hari ini?Kerana kita kena ingat satu benda kita juga kena pastikan bahawa pusat-pusat latihan yang bertauliah yang ada di negeri Johor,kita kena pastikan kursus yang mereka tawarkan selaras dengan kehendak pasaran di negeri Johor. Kita tidak boleh benarkan mereka menawarkan apa sahaja kursus kerana mana-mana belia ataupun sesiapa yang mendapat latihan kemahiran apabila mereka menamatkan latihan tersebut, keluar sahaja, mesti ada peluang pekerjaan, mesti ada majikan yang mengambil mereka. Sekiranya kemahiran yang mereka ada tidak ada di negeri Johor maka belia terpaksa berhijrah dan itulah antara sebab ramai anak-anak Johor terpaksa berhijrah ke Singapura kerana mereka ada latihan kemahiran, ada kemahiran, ada certificate dan sebagainya. Tetapi mungkin peluang pekerjaan di Johor, mungkin tidak mencukupi. Yang Berhormat Puan Speaker, pagi tadi Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri telah bersetuju apa yang berlaku di Pengerang. Oil and Gas Industry merupakan satu industri baru untuk negeri Johor. Apabila industri ini dimulakan di negeri Johor, Johor tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.Kita jauh ke belakang kalau dibandingkan dengan Terengganu dan Sabah.Oil and Gas Industry merupakan industri yang baru, jadi kerajaan terpaksa mengambil inisiatif untuk mempastikan kita membuat sesuatu secara drastik, untuk mempastikan anak-anak muda mempunyai kepakaran dan juga kemahiran dalam bidang Oil and Gas ini supaya apabila projek Pengerang mula beroperasi maka peluang pekerjaan akan dapat diberikan kepada anak-anak Johor. Kalau tidak anak-anak

Johor sekadar menjadi spectator, melihat kepada limpahan ekonomi yang berlaku di negeri Johor. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bersetuju ada 70,000 peluang pekerjaan. Sekiranya warga Johor tidak bersedia dengan kelayakan-kelayakan kerana kebanyakan pekerjaan di Pengerang memerlukan kemahiran yang spesifik. Dan sekiranya anak-anak muda tidak ada kemahiran-kemahiran tersebut, maka peluang untuk mendapat pekerjaan di Pengerang terlepas daripada tangan kita. Jadi, Puan Speaker, saya berharap pihak kerajaan negeri menerusi Unit Swadaya Insan akan mengambil tindakan segera untuk mempastikan supaya latihan kemahiran, ia dijadikan sebagai sesuatu yang agresif. Bukan mudah untuk menggalakkan anak-anak muda ini terlibat dalam bidang-bidang kemahiran ni, 3D sector adalah sesuatu yang tidak diminati tetapi kita kena turun buat roadshow terangkan kepada mereka apakah kebaikan, apakah impak di sebalik dan berapakah jumlah pendapatan yang mereka boleh dapat sekiranya mereka mempunyai kemahiran-kemahiran yang tertentu.

Yang Berhormat Puan Speaker, satu lagi perkara yang saya ingin bangkitkan ialah mengenai tanah upacara khairat masyarakat India di negeri Johor. Perkara ini sebenarnya tanah upacara akhirat or the final rights untuk masyarakat India. Kerajaan negeri yang lepas telah pun mengenal pasti sebidang tanah sebanyak satu ekar di Tanjung Langsat di kawasan Pasir Gudang dan juga sebenarnya tapak itu telah pun diluluskan dalam MMK pada 2016. Tetapi kerana masalah teknikal, berlaku masalah teknikal, maka Majlis Perbandaran Pasir Gudang memohon supaya tapak yang berada di sebelah itu dimohon, maka, tapak tersebut telah pun dipinda ke tapak yang sebelah, di mana dipersetujui oleh kerajaan negeri, dipersetujui oleh MMK, dipersetujui oleh Persatuan Pengurusan Upacara Kematian Orang-Orang Hindu Negeri Johor dan juga oleh masyarakat umum. Dan dana untuk mendirikan kompleks tersebut juga telah pun diluluskan. Semuanya dah ada. Semuanya dah ada. Jikalau Yang Berhormat Puan Speaker, masih lagi ingat, ketika itu menjadi Ketua Pembangkang, pernah Yang Berhormat Puan Speaker dengan penyokong-penyokongnya daripada DAP berjumpa dengan saya menyerahkan memorandum mendesak supaya projek ini diselesaikan dengan segera. Jadi hari ini, Yang Berhormat Puan Speaker tak payah nak mendesak lagi, Puan Speaker tak payah nak membawa memorandum lagi, dah jadi Speaker....

Timbalan Speaker

Tapi malang tak berjaya pada sebelum PRU 14.

Senyum dan bisik kepada pegawai berkenaan, saya rasa mungkin perkara ini akan dapat diselesaikan dengan segera kerana Majlis Perbandaran Pasir Gudang menunggu keputusan Hasil Bumi untuk kelulusan tapak tersebut dan selepas diluluskan, projek ini boleh dimulakan. Ini adalah perjuangan bukan sahaja Barisan Nasional tetapi sekiranya Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat sendiri telah membawa memorandum, makna ini adalah perjuangan bangsa Johor, khususnya masyarakat India. Jadi saya harap kerajaan akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, beberapa isu berkaitan dengan kawasan saya, saya juga ingin tahu apakah status pembinaan sanctuary gajah di negeri Johor, di daerah Kota Tinggi kerana di kawasan saya ini masih lagi ada gangguan gajah. Untuk makluman Puan Speaker, di kawasan saya sekarang ada lebih kurang 30 ekor atau 40 ekor gajah, di Kampung Sri Lukut, di Kluang ni ada Kampung Gajah tapi gajah-gajah ini tak nak bertapak di Kampung Gajah, mereka suka di Kampung Sri Lukut, mereka merosakkan tanaman, masuk ke kawasan-kawasan FELDA, FELDA Ulu Dengar, FELDA Kahang Timur, FELDA Kahang Barat, termasuk kawasan rakan kita daripada Paloh pun, FELDA Kahang Barat, semuanya dirosakkan oleh gajah-gajah ini, jadi, saya harap Jabatan PERHILITAN akan terus melaksanakan operasi untuk menangkap gajah ke, menghalang gajah ke, saya tak tahu apa mereka nak buat. Tetapi saya juga nak tahu status sanctuary ini kerana tujuan kerajaan lepas menubuhkan sanctuary ialah untuk selesaikan isu ini. Supaya gajah-gajah ini

dapat dipindahkan ke sanctuary gajah. Jadi, perkara itu perlu diberi perhatian oleh Jabatan PERHILITAN dan juga oleh EXCO yang berkenaan.

Yang Berhormat Puan Speaker, di Kampung Sri Lukut, Kahang juga ada permohonan tanah, kawasan sawah yang ada permohonan tanah menerusi Pejabat Tanah Kluang. Saya rasa sudah lebih daripada 6 hingga 7 bulan sehingga hari ini, belum ada apa-apa status terkini, saya berharap pihak-pihak yang berkenaan di daerah Kluang akan cuba untuk selesaikan walaupun penduduk telah pun serahkan semua dokumen-dokumen berkaitan dalam konteks permohonan untuk tapak tersebut. Jadi, saya harap pihak jabatan, Pejabat Tanah Kluang akan membantu penduduk Kampung Sri Lukut dalam penyelesaian masalah tanah mereka ini.

Dan juga Puan Speaker, projek bekalan air bersih di Kampung Sedohok, Kampung Orang Asli Sedohok. Ketika kempen pilihan raya yang lepas, turunnya pegawai-pegawai dan konsultan daripada KKLW mengatakan sejurus tamatnya PRU, maka projek bekalan air di Kampung Orang Asli Sedohok akan dimulakan. Kerana isu air di kampung asli ini adalah isu lama yang berpanjangan. Tetapi selepas tamatnya PRU, bertukarnya pucuk pimpinan, terus hilang pegawai-pegawai tersebut. Sehingga hari ini, saya pun tidak pasti apakah status terkini mengenai perkara tersebut. Kerajaan Pakatan Harapan ni nak sambungkan air ke tidak. Kita pun nak tahu. Jangan kerana tukarnya kepimpinan, bekalan air diputuskan, tidak disambung. Jadi, saya harap pihak KKLW akan tampil untuk memberi jawapan untuk apakah status terkini projek bekalan air bersih di Kampung Orang Asli Sedohok? Dan, Puan Speaker, ada masa lagi ke Puan Speaker? Oh ada, ok.

Puan Speaker, dan ini juga adalah satu isu di kawasan Puan Speaker sendiri, kawasan Penggaram, SJK(T) Seri Pelangi, ok. Sekolah SJK(T) Seri Pelangi adalah antara sekolah yang telah menerima dana sebanyak RM150,000.00 untuk projek penyelenggaraan dan penambahbaikan bangunan sekolah pada tahun 2017. Dan keputusan ataupun pekeliling ketika untuk pada tahun 2016-2017 ialah mana-mana sekolah Tamil di Malaysia, di bawah peruntukan kecil RM150,00.00 ini, projeknya akan diberikan kepada kontraktor-kontraktor daripada kalangan masyarakat India, masyarakat India. Jadi ketika itu kita ada pekeliling daripada Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Pelajaran Malaysia dan dana telah pun disalurkan kepada pihak sekolah pada 2017 tapi saya tak pasti kenapa projek itu tidak dijalankan, ok, tidak dijalankan. Sekarang dah tamatnya PRU, ok, pejabat PPD Batu Pahat mengatakan mereka akan melaksanakan projek ini tetapi terma sudah pun ditukar bukan lagi untuk kontraktor India tetapi kontraktor Bumiputera.

Jadi, ini telah pun memberi satu keadaan di mana PIBG dan juga LPS merasakan tidak puas hati kerana sepatutnya projek ini diberikan kepada kontraktor India, kenapa sekarang apabila tukarnya kerajaan, sudah ada perubahan dasar, ok, di mana ini berlaku di Batu Pahat sahaja. Daerah-daerah lain ok, ada daerah yang ok lagi, tapi kenapa PPD Batu Pahat membuat keputusan ini. Apabila didesak dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan siapa menukar dasar, ini keputusan kerajaan baru, itulah jawapan mereka secara spontan. Jadi, saya berharap isu ini perlu diselesaikan. Kalau dah janji nak beri kepada kontraktor India, dana dah masuk ke pihak sekolah 2017, projek 2017, baru RM150,000.00 bukan RM150 juta. Jadi serahkan projek ini kepada kontraktor India yang kecil supaya mereka juga dapat menjana pendapatan, membantu pihak sekolah dan sebagainya. Kalau ikut projek yang biasa maknanya prosedur-prosedur yang lain, akhirnya apa yang akan di dapat oleh pihak sekolah hanya sedikit sahaja. Jadi, Yang Berhormat Speaker yang juga ADUN kawasan tersebut, bantulah. Maknanya, dua perkara ya yang saya bangkitkan akan dibantu oleh Yang Berhormat Speaker, Puan Speaker pada kali ini.

Dan juga, isu berkaitan dengan kontraktor-kontraktor kecil negeri Johor. Dan mantan EXCO Kerja Raya ada di sini, dia boleh juga confirm. Di mana sebelum ini dalam kerajaan Barisan Nasional, projek-projek jalan di bawah Infra Desa Johor, Infra Desa Johor juga telah pun ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor kecil negeri Johor. Tetapi, baru-baru ini difahamkan tawaran seperti ini tidak lagi diberi kepada mereka. Jadi, ini juga sekali lagi telah membawa kepada suatu keadaan rasa tidak puas hati, rasa tidak puas hati. Orang dah mula buat

perbezaan dan perbandingan, kenapa apabila tukarnya kerajaan, kerajaan baru peluang-peluang yang diberi kepada kontraktor kecil India Johor tidak diberikan lagi. Jadi, saya harap kerajaan dan juga pihak yang berkenaan akan meneliti perkara tersebut. Kalau boleh panggil balik persatuan tersebut bincanglah cara yang terbaik bagaimana win-win situation boleh membantu kontraktor-kontraktor kecil India di negeri Johor. Kalau Barisan Nasional boleh melaksanakan, saya percaya Pakatan Harapan juga boleh melaksanakan perkara tersebut.

Yang Berhormat Puan Speaker...

Timbalan Speaker

YB, gulung.

Pada hari ini saya ucap terima kasih kepada, kepada Yang Berhormat Menteri Pertanian, beliau telah bercerita mengenai Bangsa Johor dan sebagainya dan Bangsa Johor dalam konteks Muafakat Johor dan sebagainya, dan saya rasa pelik pada hari ini term Muafakat Johor tidak lagi digunakan di Johor? Muafakat Johor tidak ada kaitan dengan politik. Ini bukan muafakat Barisan, ataupun muafakat Nasional dan sebagainya. Muafakat Johor ialah semangat kenegerian di negeri Johor supaya rakyat daripada semua kaum dapat menganggap diri mereka sebagai Bangsa Johor, semangat kenegerian mesti menebal dalam jiwa kita supaya kita berasa bangga dengan negeri Johor. Kalau apabila JDT turun ke padang bola sepak, kita dapat lihat apabila JDT menjaringkan gol, Melayu, Cina, India boleh bersorak bersama-sama, makna itulah Muafakat Johor. Jadi Muafakat Johor bukan sahaja dalam konteks sukan bola sepak, tetapi Muafakat Johor mestilah menyeluruh dalam konteks yang berleluasa. Jadi, saya rasa tak perlulah kerajaan Pakatan Rakyat berasa gusar, risau dengan terma Muafakat Johor sehingga tidak lagi digunakan dan sebagainya. Saya berharap, kaji balik terma Muafakat Johor adalah sesuatu yang telah pun, telah pun diperkenalkan ketika mantan Menteri Besar mengambil alih tampuk kepimpinan dan alasan yang diberikan untuk menubuhkan Muafakat Johor ialah kita kena rasa bangga dengan semangat Bangsa Johor, kita Bangsa Johor, kita rakyat Johor, logo Muafakat Johor itu sendiri telah pun diluluskan, mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri. Ini bukan keputusan MMK, bukan keputusan Menteri Besar, bukan keputusan EXCO Perpaduan, ...

Timbalan Speaker

Masih banyak?

Bukan keputusan kerajaan Barisan Nasional.

Timbalan Speaker

Sila gulung, sila gulung.

Puan Speaker, saya faham. Logo Muafakat Johor mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri. Jadi, bila Tuanku sendiri telah pun mengendorse logo tersebut, telah pun menggalakkan terma Muafakat Johor dan Bangsa Johor digunakan, saya rasa kerajaan baru tak perlu risau (Dewan bertepuk)

Hanya kerana seseorang menggunakan Muafakat Johor itu tidak bererti Barisan Nasional, itu rakyat Johor. Jadi, kaji balik perkara ini, kaji balik. Ini mendapat perkenan Tuanku sendiri. Jadi, bagaimana suka-suka boleh tukar logo, suka-suka tak nak gunakan terma Muafakat Johor dan sebagainya.

Timbalan Speaker

YB, masa sudah tamat.

Yang Berhormat Speaker, saya akan berhenti di sini. Jadi, sebelum mengundurkan diri, terima kasih kepada masa yang telah pun diberikan dan tolong selesaikan dua perkara yang telah saya bangkitkan hari ini. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih kepada YB Kahang sebab bangkit perkara di Penggaram juga. Seterusnya, saya mempersilakan YB Machap.

Bismillahirrahamanirrahim. Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Muafakat Johor. Pertamanya, Machap ingin merakamkan terima kasih kerana diberi peluang berucap dalam Perbahasan menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dalam Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas.

Yang kedua, Machap ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pakatan Harapan yang berjaya memenangi PRU Yang Ke-14, di mana kalau dahulu Pakatan menaruh harapan, menaruh harapan nak tawan Nusajaya, menaruh harapan nak tawan Putrajaya, nak jadi kerajaan, sekarang mereka sudah tawan Putrajaya, tawan Nusajaya dan jadi kerajaan. Bermakna, dalam Dewan Undangan Negeri semasa bersidang yang lepas, apa yang mereka kata, mereka kena renungi balik dan kotakan sebagaimana apa yang mereka telah perjuangkan dalam ucapan-ucapan dalam Sidang Dewan yang lalu.

Yang ketiga, Machap merakamkan rasa syukur kepada dan terima kasih kepada pengundi-pengundi di DUN Machap, rakyat Machap yang masih memilih dan memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional yang saya wakili dalam pilihan raya yang lalu hingga membolehkan saya menang di kawasan DUN Machap. Walaupun kita menyedari bahawa tsunami Pakatan Harapan begitu hebat, gelombang kemaraan Pakatan Harapan begitu mencengkam, sehingga menumbangkan tokoh-tokoh hebat, calon-calon hebat Barisan Nasional walaupun calon-calon yang bertanding itu tidak dikenali oleh orang ramai, rakyat tidak mengenali mereka, apatah lagi jasa mereka tetapi mereka boleh kalahkan calon-calon dari Barisan Nasional yang telah pun berkhidmat satu penggal dan ada yang lebih empat penggal, jasa mereka banyak berbanding dengan tokoh ataupun calon daripada Pakatan Harapan yang tidak dikenali oleh rakyat yang langsung tidak berjasa tetapi mereka menang dalam pilihan raya yang lalu, kerana gelombang tsunami Pakatan Harapan yang dikehendaki oleh rakyat pada masa itu.

Dan kita juga harus ingat, kalau dulu wakil rakyat Barisan Nasional menawarkan, menawarkan perkhidmatan dan pembangunan kepada rakyat tetapi tugas itu sekarang telah diambil oleh Pakatan Harapan melalui wakil rakyat yang menang di kawasan-kawasan tersebut. Tentunya tanggungjawab ini perlu dimainkan oleh Pakatan Harapan dengan sebaik mungkin bagi menunaikan janji dan harapan yang diberikan oleh rakyat kepada mereka. Dan saya berharap agar Pakatan Harapan dapat melakukan yang terbaik untuk rakyat dan juga kita harus sedar bahawa sesebuah kerajaan boleh tumbang bukan kerana kekuatan pembangkang tetapi kerana kelemahan pentadbiran, kerosakannya berlaku dalam kerajaan itu sendiri yang boleh dieksploitasi, dijadikan isu bagi menjatuhkan kerajaan tersebut. Dan ini perlu dijadikan panduan oleh Pakatan Harapan sekiranya ingin kekal lama untuk mentadbir di negara kita.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Machap tertarik tentang titah Tuanku Perkara 4 yang menyentuh tentang seruan supaya mana-mana program yang baik yang telah dibuat oleh pentadbiran terdahulu perlulah dikekalkan atau ditambah baik bukannya terus dihentikan. Machap sangat setuju dengan saranan ini kerana keutamaan harus lebih diberikan kepada rakyat Johor dan negeri Johor dan bukannya kerana rasa malu atau keegoan kita untuk tidak meneruskan dasar-dasar pentadbiran lama yang baik maka kita tidak meneruskan dasar tersebut.

Di Johor ini kita ada tag line yang perlu kita kekalkan bagi memantapkan kepimpinan mendaulatkan perlembagaan, memperkasa pembangunan, memajukan pendidikan, mengukuh kesepaduan bangsa, melestari alam sekitar, merekayasa inovasi dan kreativiti demi kemajuan bangsa Johor Kepada Allah Berserah, Muafakat Itu Berkat, Johor Mesti Jadi Johor dan Johor Luaskan Kuasamu.

Antara yang perlu dikekalkan bagi melambangkan identiti Johor iaitu ucapan salam Muafakat Johor sebagaimana tadi yang telah dinyatakan oleh YB dari Kahang, Machap juga bersetuju agar salam Muafakat Johor ini kita teruskan kerana ucapan ini sudah tersebar luas pengucapannya bukan sahaja di negeri Johor malah juga pengucapannya telah tersebar luas melangkaui negeriJohor.Ini menunjukkan bahawa kita menzahirkan ucapan ini dengan berharap ikatan persaudaraan kuat antara kita bangsa Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Machap juga berpendapat gagasan Johor Berkemajuan wajar diteruskan sebagai manifestasi dari pembangunan negeri Johor yang inklusif dan berimpak tinggi. Ini kerana pencetusannya menggambarkan wawasan kepimpinan negeri Johor yang berkehendakkan perubahan minda rakyat ke arah penglibatan rakyat secara menyeluruh bagi membangunkan negeri Johor yang progresif, maju dan moden serta beradapan tinggi. Sayang kalau kerajaan tidak meneruskan gagasan ini dan sebaliknya lakukan penambahbaikan sekiranya ada kelemahan yang dikesan. Saya memetik kata-kata mantan Menteri Besar Johor yang lalu,“Jika Gagasan Berkemajuan ini kurang padu kukuhkan dia, jika kurang sempurna baiki ia, pokok pangkalnya marilah kita melakukan bersama-sama dalam setiap dasar program dan gerak kerja agar ia selari dan terbudaya kerana inilah jalan terbaik untuk Johor dan masyarakatnya”.

Seterusnya titah Sultan menyentuh perkara 6, yang menyentuh tentang tanggungjawab yang besar dan mesti dipukul dengan jujur dan amanah oleh setiap wakil rakyat. Dalam hal ini, sepanjang 5 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di Machap, Machap berpendapat saya telah cuba buat yang terbaik untuk masyarakat pengundi-pengundi di DUN Machap, dengan membawa beberapa pembangunan seperti pembinaan surau, dewan orangramai, pembinaan traffic light di Taman Sri Lalang, mengusahakan untuk pengeluaran geran di 4 buah kampung dan pembinaan sebuah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Machap dan Machap mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YB Pagoh pada masa itu yang menjadi Timbalan Perdana Menteri yang meluluskan projek bagi pembinaan sekolah di Machap.

Dan juga Machap ingin menyentuh tentang manifesto Pakatan Harapan di peringkat nasional di mana dalam PRU yang ke-14 menjanjikan pembelaan nasib yang lebih baik untuk rakyat seperti penghapusan tol, penghapusan GST, hutang PTPTN, menurun harga minyak dan sebagainya. Walaupun kita sebagai rakyat, kita menyedari setiap janji itu perlu ditunaikan tapi kita memahami bahawa setiap janji dalam manifesto itu mungkin tidak dapat ditunaikan kesemuanya. Kerajaan PH harus sedar kemenangan PH dalam PRU yang lalu tidak bermakna rakyat setuju 100% dengan dasar-dasar ataupun manifesto Pakatan Harapan.

Begitu juga rakyat tidak semestinya 100% yang tidak mengundi Barisan Nasional tidak menyukai Barisan Nasional kerana rakyat mahu menukar kerajaan. Jadi PH jangan pula mengambil kesempatan mahu mengubah atau merombak semua perkara termasuk pancang-pancang atau perkara teras dalam Perlembagaan. Berikan keutamaan terlebih dahulu kepada kepentingan rakyat seperti kenaikan harga barang, harga petrol dan tol serta masalah perumahan yang sangat diperlukan oleh rakyat.

Perubahan tidak semestinya begitu mudah menukar atau merombak dasar-dasar yang mantap, mungkin yang diperlukan adalah perubahan strategi dan pendekatan kecuali bagi perkara yang baru. Berikan tumpuan kepada memajukan negara dan kebajikan rakyat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pengundi Machap telah mengundi untuk Barisan Nasional dalam pilihan raya yang lalu sebanyak 9,375 dan rakyat telah mengundi di DUN Machap untuk Pakatan Harapan sebanyak 8,971 undi. Bermakna kemenangan BN di DUN Machap sekitar 404 majoriti undi sahaja. Jadi Machap berharap walaupun Barisan Nasional ataupun PH kalah di Machap, Machap berharap agar pembangunan dan penyelesaian masalah di DUN Machap jangan dianaktirikan oleh kerajaan PH di negeri Johor ini, sebab kalau dianaktirikan pembangunan, kurangnya penyelesaian kepada masalah yang berlaku di DUN

Machap, bermakna kerajaan PH juga turut menzalimi pengundi seramai 8,971 orang yang mengundi Pakatan Harapan di DUN Machap.

Justeru, Machap berharap agar kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor tidak meminggirkan atau menganaktirikan pembangunan dan juga turut sama membantu menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di DUN Machap. Untuk itu masalah yang pertama yang saya nak bawa dalam Dewan ini iaitu masalah pengurniaan hak milik tanah geran di mana dalam tahun 2017 ada ura-ura pengeluaran 4 geran pemberian hak milik tanah itu di Kampung Melayu Bukit Nyamuk, Kampung Paya Jalan Benut, Kampung Haji Hamzah dan Kampung Sri Merjaya di Simpang Renggam sepatutnya kita sudah keluarkan kepada penerima pada tahun 2017. Tetapi mungkin disebabkan perkara-perkara tertentu, ada kekangan, ada kelewatan dan kita berharap agar pihak PTD, pihak PTG dan Pejabat Menteri Besar sendiri dapat mengurniakan pengurniaan 4 geran tanah ini, 4 kampung untuk pemberian geran tanah ini dapat disegerakan untuk 2018.

Seterusnya isu yang kedua, yang sering Machap bercakap dalam sidang Dewan Undangan Negeri ini iaitu isu gangguan bekalan air. Gangguan bekalan air ini di Machap yang dialami oleh sebahagian penduduk Benut, yang dialami oleh sebahagian penduduk di DUN Layang-Layang ada kaitan dengan tapak buang sampah di Ladang CEP Renggam. Kita, untuk jangka panjang kita mahu tutup tapak buang sampah di Ladang CEP Renggam ini,sebab sekarang ini dikatakan menjadi punca utama berlakunya pencemaran air di Loji Rawatan Air Simpang Renggam.

Bila mana hujan lebat berlaku, berlaku limpahan air leachete dari tapak buang sampah ini masuk ke Sungai Ulu Benut dan air daripada Sungai Ulu Benut ini masuk ke Loji Rawatan Air Simpang Renggam dan bila kita lihat paras ammonia yang tinggi melebihi 2 ppm maka SAJ atau loji rawatan air itu akan ditutup serta merta. Dan cadangan untuk jangka panjang, kita akan tutup tapak buang sampah di Ladang CEP Renggam dan kita akan buka satu tapak buang sampah yang baru iaitu di Bukit Payung, sebagaimana tadi YB Senggarang telah sebut, tetapi pihak sana menentang pembukaan tapak buang sampah di Bukit Payung.

Dan saya rasa tidak adil, saya difahamkan setiap hari 200 tan sampah dari Batu Pahat dibuang di tapak buang sampah di Ladang CEP Renggam, di kawasan Simpang Renggam, di kawasan saya. 200 tan dari Kluang di buang sampah di Ladang CEP Renggam dan dari Simpang Renggam sahaja baru 100 tan. Maknanya tidak adil bagi Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang buang sampah di Simpang Renggam. Kesan yang paling teruk dialami oleh penduduk Simpang Renggam ialah kerapnya berlaku gangguan bekalan air.

Bila berlaku kerap gangguan bekalan air ini, kadang kala menimbulkan kemarahan rakyat kepada wakil rakyat. Saya pernah baca dalam satu facebook, dia begitu marah kepada wakil rakyat, sampai dia kata, “Kalau saya jumpa YB, saya akan baling baldi dengan besen dekat muka dia”. Wakil rakyatnya ialah saya dan juga Parlimennya ialah Gerakan, nasib baik pada masa itu Tuan Speaker bertanding di Simpang Renggam dia kalah, 2013.Kalau tidak Tuan Speaker sendiri pun kena baling dengan penduduk kerana marah ekoran daripada kerapnya gangguan bekalan air.

Jadi, tadi saya tertarik dengan ucapan YB Senggarang yang meminta supaya diwartakan Bukit Payung itu menjadi tapak untuk rekreasi. Saya dalam hal ini kita menyerahkan kepada kebijaksanaan kerajaan negeri tetapi janganlah kerana kita nak mengekalkan tapak untuk rekreasi, untuk kemudahan penduduk di Majlis Perbandaran di kawasan tersebut kita menganiaya pulak penduduk di kawasan yang lain. Dalam usaha memastikan agar gangguan bekalan air di Machap terutamanya di Simpang Renggam, kita telah buat kerja untuk mengatasi pelbagai cara melalui SPAN, BAKAJ, Jabatan Alam Sekitar dan sebagainya untuk memastikan bahawa tidak ada lagi gangguan bekalan air di Simpang Renggam tetapi sehingga kini masih berlaku. Dalam beberapa siri lawatan oleh rakan-rakan sendiri daripada Pakatan Harapan..

Timbalan Speaker

2 minit lagi, 2 minit.

Daripada Pakatan Harapan, sama-sama turun. Kita menyelesaikan cara kita dengan meminta supaya peruntukan diturunkan dan rakan-rakan daripada Pakatan Harapan pada masa, turun menyelinap kebun kelapa sawit untuk mengetahui punca, sebab berlaku pencemaran ini. Mereka bantu dan mereka juga berharap agar tapak buang sampah ini ditutup. Penyelenggaraan yang terbaik bagi memastikan tidak berlaku pencemaran. Dan kita agak sedih, saya agak sedih bilamana, saya ada baca kenyataan daripada EXCO menyatakan pembukaan tapak buang sampah di Bukit Payung akan ditangguh. Maknanya orang di Simpang Renggam akan berterusan menghadapi gangguan bekalan air ini. Dan pada 5 hari bulan Ogos, 9.00 pagi bekalan air di Simpang Renggam dihentikan operasi kerana pencemaran 6.1 ppm. Inilah yang berlaku di Simpang Renggam. Kemudian pada 10, pukul 11.00 pagi hingga 2.00 petang bacaan semasa ammonia antara 4.5 ppm hingga 4.9 ppm dan operasi di Loji Rawatan Air beroperasi 50% sahaja. Dan juga baru-baru ini, Machap mendapat maklumat bahawa pencemaran ammonia di Sungai Benut ada kaitan dengan tapak Loji Rawatan Kumbahan Penjara Simpang Renggam yang mana memerlukan pembaikan 5 buah STP perlu dilakukan bagi mengelakkan pencemaran ammonia tidak berulang. Dan berharap agar pihak SPAN atau pihak JAS membantu mendapatkan peruntukan bagi menyelenggara loji yang tidak beroperasi di Penjara Simpang Renggam supaya tidak berlaku loji yang tidak di selenggara ini, akan menyebabkan air yang ada kandungan ammonia, air berkumbahan masuk ke sungai hingga menyebabkan gangguan bekalan air.

Timbalan Speaker

Sila gulung.

Seterusnya Machap, sekali lagi mengharapkan agar Pakatan Harapan dapat menunaikan janji-janji sebagaimana pilihan raya yang lepas. Sebab bila Machap melihat, janji-janji Pakatan Harapan di peringkat Nasional telah mendorong rakyat untuk mengundi Pakatan Harapan dan mereka tidak tahu sangat tentang Manifesto daripada kerajaan negeri maknanya bila Pakatan Harapan menyentuh tentang Manifesto di peringkat Nasional maka itulah rakyat mengundi Pakatan Harapan. Moga, segala janji-janji yang telah diberi dapat ditunaikan dengan sebaik mungkin kerana janji-janji yang tidak ditepati merupakan janji-janji seorang yang munafik. Jadi, Machap berharap agar Pakatan Harapan dapat berkhidmat dengan sebaik mungkin untuk tempoh 5 tahun, bagi menunaikan janji-janji dan berkhidmat dengan baik untuk rakyat di negeri Johor dan juga memajukan negeri Johor. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya tangguhkan Persidangan ini selama 15 minit dan selepas kita berehat YB Maharani akan memulakan ucapan. Ahli-Ahli Yang Berhormat…

Yang Berhormat Speaker, sebelum ditangguhkan, mungkin waktu rehat kita boleh dibetulkan. Saya lihat di sebelah kita ini nama kepada Parti yang mewakili yang bercakap itu, diletak UMNO atau MIC, saya minta kalau boleh dikekalkan BN. Sebab kita, sepatutnya Barisan Nasionallah. Kita semua bercakap bagi pihak Barisan Nasional bukan bagi pihak Parti.

Timbalan Speaker

Ok.

Terima Kasih.

Timbalan Speaker

Jadi, saya tangguhkan Persidangan, selepas nanti betulkan. Nanti minta betulkan.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3.40 petang.

Persidangan bersambung semula pada jam 3.55 petang.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. YB Maharani, jemput.

Puan Nor Hayati binti BachokAMANAH · PHMaharani

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Harapan, sayangi Malaysiaku. (Doa). Terima kasih saya ucapkan kepada Puan Timbalan Speaker kerana memberi saya peluang untuk mengambil bahagian dalam Perbahasan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, saya ingin menjunjung kasih atas Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah berkenan merasmikan Ucapan Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Johor Ke-14. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker dan Tuan Speaker yang telah dilantik sebagai Speaker dan juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor yang Ke-14.Saya berdoa agar Tuhan mengurniakan kepada Tuan dan Puan berdua, agar dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan adil dan saksama demi mempertingkatkan martabat dan memelihara kewibawaan Dewan yang mulia ini. Terima kasih dan tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bersama-sama barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu Para EXCO kerana usaha-usaha gigih barisan kepimpinan baru ini dan memastikan kesejahteraan rakyat terus diutamakan dan harapan besar rakyat terus dapat dipenuhi menerusi 10 janji, 100 hari kerajaan Pakatan Harapan Johor yang kesemuanya telah dan akan dilancarkan serta dilaksanakan selewat-lewat 1 September 2018. Kesungguhan ini akan pasti mempertingkatkan keharmonian dan kemakmuran negeri demi memenuhi harapan rakyat, dari rakyat, kepada rakyat dan kembalikannya demi manfaat rakyat keseluruhannya.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, Titah Tuanku antara lain menyentuh banyak persoalan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat dari sudut ekonomi, pelaburan dalam dan luar negara dan pembangunan infrastruktur. Kesemuanya bersekitar kepada peringatan dan nasihat Tuanku bahawa Ahli-Ahli Dewan Negeri tidak terlepas dari tanggungjawab untuk mengangkat agenda rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat negeri Johor. Saya yakin sesi soal jawab dan Perbahasan yang matang dalam Dewan Negeri yang mulia ini mampu menyerlahkan aspirasi kerajaan negeri menyahut Titah Tuanku ini, sekali gus menjawab segala kesangsian tentang keupayaan kerajaan Pakatan Harapan untuk membawa negeri Johor ke tahap yang lebih baik daripada sebelumnya. Kerajaan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan yang menggagaskan agenda pembaharuan dalam pentadbiran yang mengutamakan rakyat, mempunyai tanggungjawab berat memastikan pengurusan ekonomi negeri terus berkembang biarpun berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar. Tanggungjawab mengurus khazanah negeri ini merupakan suatu amanah besar kepada barisan kepimpinan negeri yang baru. Ingin saya tegaskan, juga sekali lagi bahawa pentadbiran negeri dan pengurusan ekonomi yang berkesan harus berteraskan, prinsip tata kelola yang baik atau good governance, dengan izin. Seperti yang telah disebut oleh Yang Berhormat Simpang Jeram pagi tadi.

Selari dengan Titah Tuanku untuk memastikan kemakmuran negeri terus dipertingkatkan kerajaan Johor harus mengamalkan prinsip-prinsip keamanahan, tadbir urus dan tata kelola yang baik, sifar ketirisan dan perbelanjaan berhemah tanpa mengabaikan keperluan pembangunan dan kepentingan rakyat. Selain itu, bagi memastikan tadbir urus negeri berada pada tahap yang terbaik, pentadbiran kerajaan harus memiliki ciri-ciri menggalakkan penyertaan rakyat. Keputusan yang berorientasikan consensus, telus, responsif, berkesan dan cekap, saksama dan insklusif serta menurut kedaulatan undang-undang. Karenah birokrasi yang keterlaluan harus diperhalusi semula kerana ia berkemungkinan menjadikan sistem penyampaian kerajaan tidak efisien seterusnya dapat membantutkan produktiviti negeri. Sebaliknya demi memenuhi aspirasi ke arah negeri berprestasi tinggi, sistem penyampaian perlu menjadi keutamaan demi perkhidmatan kepada rakyat. Teknologi tinggi serta keterbukaan teknologi maklumat harus menjadi asas pembaharuan sistem pentadbiran

kerana pentadbiran yang mengguna pakai teknologi dapat menjimatkan kos, masa dan mengurangkan karenah birokrasi yang membebankan rakyat. Ini bukan sahaja menjamin usaha tadbir urus sistem kerajaan yang baik tetapi juga merupakan suatu usaha untuk memastikan pengurusan dan sistem perkhidmatan pentadbiran efisien dan lancar. Saya percaya, pengurusan yang cekap adalah pengurusan yang mengurangkan karenah birokrasi dan meringankan kos yang ditanggung oleh rakyat.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, saya ingin menarik perhatian Dewan kepada Titah Tuanku agar kerajaan hendaklah menggalakkan pelaburan yang berterusan dari dalam dan luar negara di samping menyediakan infrastruktur awam yang baik. Dasar yang konsisten dan insentif yang menarik untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri Johor. Saya menyambut baik Titah Tuanku ini dan saya berkeyakinan penuh kerajaan negeri akan terus menjadikan perkara ini sebagai agenda utama dalam pentadbiran. Selain penekanan kepada aspek-aspek fizikal untuk menggalakkan pelaburan, sumber modal insan yang profesional, berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memiliki keterampilan juga merupakan suatu tarikan utama kepada pelabur asing dalam dan luar negara. Tanpa penyediaan modal insan yang berkualiti, negeri ini tidak berupaya bersaing dengan negara jiran dan natijahnya para pekerja asing mahir dan separa mahir juga bakal dibawa dari negara luar.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, pembangunan modal insan yang berkualiti dan berketerampilan bermula daripada pembangunan keluarga dalam kita mengejar kemakmuran negeri, kesejahteraan institusi keluarga merupakan komponen terpenting untuk pembangunan negeri yang lebih holistik dan insklusif. Keluarga adalah sebuah unit asas sosial yang membekalkan sumber manusia untuk pembangunan serta menjamin kesinambungan insan sebagai generasi akan datang. Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Dasar-Dasar Kebangsaan seperti Dasar Keluarga Negara turut menegaskan bahawa institusi keluarga adalah unit terpenting dalam masyarakat. Sehubungan itu, adalah wajar institusi keluarga diberi pelindungan oleh masyarakat dan kerajaan negeri khususnya. Justeru, institusi keluarga perlu diperkukuh, diperkaya dan diperkasakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini. Malah keluarga sebagai unit yang paling asas menyediakan landasan untuk pembangunan modal insan bagi menggerakkan pembangunan negeri Johor ini.

Justeru, segala dasar, program, perkhidmatan, perlindungan dan infrastruktur sokongan untuk mendaya upayakan keluarga melalui kekuatan yang sedia ada dalam diri mereka perlu di bangun dan disebarluaskan bagi melahirkan modal insan yang bermaruah, berkualiti tinggi dan berperibadi mulia.

Usaha-usaha harus diperhebatkan untuk mengarusperdanakan implikasi kesejahteraan keluarga dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian, program pembangunan ekonomi, kesihatan, sosial, kerohanian, persekitaran, sains dan teknologi serta perundangan di negeri Johor ini. Komitmen kerajaan negeri boleh dipertingkatkan untuk menyemak dan menyusun semula dasar, objektif, strategi dan program pembangunan dan pemantauan supaya lebih mesra keluarga. Bagi mencapai matlamat ini, salah satu langkah yang wajar dilaksanakan di peringkat negeri ialah perwujudan Taska Asuhan Kanak-Kanak di semua pejabat kerajaan, badan berkanun, GLC malah sekiranya dilaksanakan, polisi ini wajar diperluaskan ke sektor swasta. Keperluan khidmat penjagaan kanak-kanak kini telah menjadi suatu keperluan mendesak ekoran beberapa insiden berkaitan Pusat Asuhan Kanak-Kanak baru-baru ini. Kerajaan negeri dicadangkan memperhalusi aspek ini, kerana pengurusan anak-anak dan keluarga yang baik mampu meningkatkan produktiviti ibu bapa. Usaha-usaha lain yang mungkin dapat dikaji kewajarannya termasuk pengenalan insentif kepada sektor swasta di negeri ini untuk memperkenalkan cuti kuarantin kepada ibu bapa yang anaknya dijangkiti wabak penyakit berjangkit seperti HFMD yang sedang berleluasa kini. Kita mengetahui cuti kuarantin ini memberi kelegaan kepada ibu bapa memberi perhatian kepada anak-anak yang sakit berjangkit. Oleh itu amat wajar kelebihan ini juga ditawarkan kepada ibu bapa di sektor swasta. Peningkatan pelaksanaan program kesejahteraan keluarga turut harus difokuskan kepada keluarga yang berbeza struktur dan mudah terancam seperti keluarga yang diketuai ibu atau bapa tunggal. Keluarga yang harus membesarkan anak-anak OKU, bermasalah pembelajaran atau terjebak dengan masalah sosial.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, dalam menuju ke arah negeri yang berprestasi tinggi, keterlibatan wanita terutamanya wanita muda tidak dapat dinafikan signifikannya. Menurut perangkaan 2016, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2016, terdapat sejumlah 1,721.8 juta penduduk wanita di negeri Johor ini. Jumlah ini bukan angka yang kecil dan jika setiap wanita ini diperdayakan untuk melakukan pembaharuan kepada diri, keluarga dan masyarakat mereka, Johor tentunya mampu muncul sebagai negeri pertama yang mencapai sasaran 30% wanita dalam posisi pembuat dasar di seluruh peringkat pentadbiran kerajaan negeri malah dapat dilaksanakan di sektor swasta. Sebagai sebuah kerajaan yang inklusif, saya percaya kerajaan Pakatan Harapan Johor mempunyai iltizam tinggi untuk meningkatkan pelantikan wanita dalam jawatan-jawatan kanan di dalam sektor perkhidmatan awam negeri, badan-badan berkanun, syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan negeri, GLC dan GLIC termasuk sektor-sektor agama seiring dengan peningkatan daya kepimpinan wanita negeri Johor sudah tiba masanya, para wanita yang berkemampuan, berkelayakan dan berkemahiran tinggi dilantik memegang jawatan tinggi dalam Lembaga Pengarah, Pengurus Besar dan Perancangan Strategik badan-badan berkanun dan GLC.

Pelantikan Timbalan Perdana Menteri Wanita pertama negara telah direalisasikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan peringkat nasional, malah perkara ini langsung tidak pernah difikirkan atau disasarkan oleh kerajaan yang terdahulu. Di peringkat negeri pula, kita mengalu-alukan pelantikan Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker dari kalangan wanita. Perkembangan ini merupakan langkah permulaan atau milestone yang baik dan amat penting untuk menggiatkan lagi signifikannya peranan wanita dalam pentadbiran negeri. Tahniah saya ucapkan.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, salah satu usaha yang mungkin dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk memperdayakan wanita dan masyarakat ialah melalui penubuhan sebuah badan memberdayakan wanita di peringkat negeri. Saya mencadangkan agar badan khusus ini ditubuhkan untuk membangunkan dasar-dasar kerajaan negeri yang responsif kepada prihatin wanita di samping mempromosikan kesedaran, kefahaman tentang gender dan keadilan sosial.

Inisiatif ini sekiranya dilaksanakan dapat memberdayakan kaum wanita khususnya untuk menggalakkan prestasi partisipasi wanita dalam kepimpinan dan mekanisme dalam membuat keputusan dalam segala bidang. Ini sekali gus menggalakkan persekitaran yang inklusif dalam sebuah masyarakat yang pelbagai kaum dan budaya dan agama. Walaupun saya menyedari bahawa kerajaan negeri termasuk di bawah kerajaan terdahulu telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberdayakan wanita negara, negeri ini, namun pembentukan sebuah badan khusus untuk memberdayakan wanita akan berperanan dengan lebih efektif dengan struktur yang jelas serta dipimpin oleh golongan wanita profesional. Saya yakin dan percaya, pentadbiran di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar mempunyai iltizam yang kuat untuk melakukan pembaharuan dalam masyarakat dengan memberdayakan kaum wanita dan meningkatkan kesejahteraan keluarga.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, saya menjunjung kasih dan menyambut baik titah Tuanku untuk memastikan pembangunan negeri tidak mengabaikan aspek-aspek pemeliharaan alam sekitar, sumber air dan hutan negeri. Sesungguhnya kelestarian alam semula jadi juga merupakan aspek yang amat-amat dititik beratkan dalam Islam Rahmatan Lil-Alamin. Pengurusan alam sekitar dan sumber hutan negeri yang mampan atau sustainable, dengan izin dapat memastikan kelestarian kawasan tadahan hujan dan aliran air bersih ke sungai-sungai demi memastikan sumber air negeri tidak terjejas. Allah s.w.t berfirman (bacaan ayat Al-Quran) yang bermaksud “Dialah yang telah menurunkan air hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya menyuburkan tumbuh-tumbuhan yang pada tempat tumbuhnya kamu mengembalakan ternakan mu”.

Air sebagai komponen penting kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri perlu terus di urus dengan standard dan sistem pengurusan terbaik seiring dengan kemajuan negeri. Namun demikian masalah bekalan air masih menjadi antara isu utama terutamanya di kawasan Maharani. Saya sering menerima pelbagai aduan para penduduk tentang mutu kebersihan bekalan air, tekanan air rendah dan kekerapan gangguan bekalan air di kalangan penduduk. Hal ini mungkin berlaku, margin reserve air yang terlalu rendah iaitu jumlah air yang boleh dibekalkan adalah kurang sama dengan jumlah permintaan air dan tiada lebihan bekalan untuk menampung permintaan tinggi. Oleh itu, apabila permintaan air meningkat pada peak hour, contohnya waktu pagi sebelum pergi kerja. Ada kalanya, ada penduduk yang mengalami masalah tekanan air ataupun gangguan bekalan air terganggu sehingga tiada bekalan air. Saya maklum bahawa pihak kerja-kerja memasang dan menaik taraf pam-pam air di sekitar Muar sedang dilaksanakan, malah untuk jangka panjang ada projek loji rawatan air bakal disiapkan pada hujung tahun 2019. Saya berharap usaha – usaha menambah baikkan perkhidmatan bekalan air bersih tidak terhenti di situ. Justeru, saya berharap kerajaan negeri akan meneliti masalah ini dan merangka strategi menyeluruh bagi menampung peningkatan permintaan bekalan air bersih hasil pertambahan penduduk dan pembangunan bandar Maharani sebagai Bandar Diraja.

Sedikit sebanyak masalah bekalan air bersih ini berpunca daripada isu pencemaran Sungai Muar yang menjadi sumber utama bekalan air bersih penduduk daerah ini dan sebahagiannya Melaka. Isu ini merupakan isu yang berlarutan yang tidak ditangani secara tuntas oleh kerajaan terdahulu. Malah saltwater intrusion ataupun penerobosan air laut, kesan hakisan akibat pencerobohan tanah rizab sungai dikhuatiri menjejaskan bekalan air bersih kepada lebih 300,000 penduduk daerah ini. Mendapan dasar sungai yang cetek menyebabkan air masin dari kawasan laut mudah menembusi kawasan delta sungai yang cetek menjadikan kualiti air berubah. Hakisan rizab sungai berfungsi sebagai penapis pencemaran dan zon penampan tadahan air mentah juga memusnahkan habitat hidupan laut dan pesisir pantai. Hal ini juga memberi impak negatif kepada hasil pendapatan para nelayan di sepanjang pesisiran Sungai Muar termasuk di dalam kawasan Maharani sebagaimana sebahagian aduan yang saya terima daripada komuniti nelayan ini. Pencerobohan air masin ini juga secara tidak langsung menyebabkan kos pengeluaran bekalan air bersih dan terawat kepada penduduk menjadi lebih tinggi dan mahal untuk memastikan punca air minum mencapai Kelas 3 ke atas mengikut Klasifikasi Standard Kualiti Air Kebangsaan.

Masalah penerobosan air laut ini juga diketahui bukan sahaja menjejaskan bekalan air bersih kepada manusia dan hidupan lain, malah menyebabkan kerugian ekonomi mencecah berbilion ringgit. Oleh itu, saya menyeru kerajaan negeri menggiatkan lagi penguatkuasaan, mengekang aktiviti-aktiviti pencerobohan yang memusnahkan zon penampan di sepanjang pesisir Sungai Muar dan seluruh negeri amnya di samping menggalakkan inisiatif-inisiatif pemuliharaan atau conservation, dengan izin serta meningkatkan kesedaran sektor korporat dan anggota masyarakat untuk memelihara sumber air bersih. Sama-sama kita menghindari dari menjadi makhluk yang gagal melaksanakan amanah Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi untuk memelihara alam semula jadi miliknya sehingga merosakkan alam sebagaimana firmannya dalam ayat yang ke-41, Surah Ar-Rum yang bermaksud “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan. Supaya mereka kembali insaf dan bertaubat”.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, sempena genapnya 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan memimpin Johor, kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Dasar Blueprint Johor, Negeri Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari. Saya menyokong iltizam kerajaan menerusi inisiatif ini demi kesejahteraan rakyat Johor tanpa mengira agama, bangsa, latar belakang, saya berharap blueprint ini akan turut memberi penekanan kepada aspek-aspek memberdayakan wanita, keluarga, masyarakat, kelestarian alam semula jadi dan kemampanan pembangunan seimbang. Insya-Allah, saya yakin kejayaan awal sepanjang

100 hari ini, mampu dilestarikan dengan iltizam pembaharuan oleh barisan kepimpinan negeri diiringi kejituan sokongan rakyat Bangsa Johor.

Marilah bersama-sama kita berdamai dengan masa lalu kita, benar-benar menggunakan saat dan detik ini yang diberikan kemenangan oleh rakyat dan sama-sama kita bina semula negara kita. Dengan izin, heal our past, being present, create our future. Insya-Allah, Malaysia akan berada di tahap yang kita banggakan. Sekian, saya akhiri dengan serangkap pantun, Bangsa Johor bangsa bestari, ketuanan rakyat terus dimartabatkan, membangun negeri berprestasi tinggi, membina negara memenuhi harapan. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Bukit Naning, jemput.

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Bacaan doa). Terima kasih Puan Timbalan Speaker. Yang saya hormati Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Anggota Majlis Mesyuarat Negeri, teman-teman Ahli Dewan Negeri Johor sekalian. Selamat petang, salam sejahtera. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT di kesempatan ini Bukit Naning mengucapkan tahniah atas ucapan dan saranan ke bawah Duli Tuanku Sultan Johor dalam titah baginda pada sesi pembukaan Dewan yang mulia ini pada 9 Ogos 2018 yang lalu. Saya bersyukur diberikan kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih Keatas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena pembukaan Penggal Persidangan Pertama Negeri Johor yang ke-14.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan selamat menyambut bulan kemerdekaan. Kita bakal menyambut 31 Ogos dan adalah tarikh istimewa bagi orang-orang yang memahami makna dan menghargai kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang mahal, tidak ternilai dan kerana itu harus dihargai secara benar-benar bermakna. Bagi umat beragama, kemerdekaan adalah nikmat kurniaan tuhan yang wajib disyukuri dengan cara yang diredhai dan disenangi penganugerahannya. Dalam konteks nikmat kemerdekaan, ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya. Dengan semangat syukur nikmat sempena kemerdekaan ini kita muhasabah menilai diri, sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa yang telah menepati makna merdeka.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, pembangunan pentadbiran yang berintegriti tinggi merupakan cabaran bagi kerajaan negeri Johor dalam mendepani masalah sebelum tahun 2020. Ianya satu slogan yang jelas memastikan pentadbiran negeri Johor diurus dengan baik, dengan izin, good governance yang telah dibicarakan oleh Menteri Pertanian.

Timbalan Speaker

Sila berhenti.

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Dengan segala mengambil kira

Timbalan Speaker

Sila duduk, sila duduk.

(Dewan berhenti seketika bagi menghormati laungan azan.)

Timbalan Speaker

Sila sambung Bukit Naning

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker. Dengan segala mengambil kira semua prosedur dan mekanisme urus tadbir yang cekap dan telus, ianya bagi menghasilkan perkembangan ekonomi yang baik bagi masyarakat setempat. Apabila kerajaan negeri telah memberikan kemudahan pengecualian bayaran lesen penjaja, ianya dapat meringankan bebanan penjaja seluruh negeri Johor. Dan, seharusnya ia dapat merancakkan lagi urusan jual beli di kalangan rakyat setelah dilancarkan secara besar besaran pada malam semalam, di Jalan Segget, Bazar Karat Johor Bahru. Pentadbiran yang merakyatkan ekonomi ini jelas dinantikan oleh rakyat sekian

lama di semua kawasan. Terutamanya di kawasan Bukit Naning sebahagian dari pentadbiran daerah Muar. Kebanyakan penjaja ini perlu diberi pengkhususan bagi menaik taraf kehidupan mereka.

Yang Berhormat Timbalan Speaker, pendidikan merupakan aset penting bagi sebuah keluarga dalam meneruskan kelangsungan hidup. Ia dapat mengubah sosial ekonomi sebuah keluarga. Oleh itu atas inisiatif yang telah dibuat dengan memperkenalkan biasiswa untuk rakyat Johor bagi program lanjutan pelajaran diploma pertama dan ijazah. Secara jelas, ia dapat meringankan dan menghargai proses penyambungan pembelajaran ke peringkat yang tertinggi bagi seorang pelajar. Masih dalam kawasan daerah Muar, terdapat Hab Pendidikan Tinggi Pagoh yang berkeluasan 400 ekar, ini bagi menempatkan pelajar-pelajar menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran berpusat. Dalam pendidikan, garis kemiskinan dapat dikeluarkan daripada miskin tegar kepada miskin. Seterusnya dapat berdikari setelah melahirkan modal insan yang baik bagi sebuah keluarga.

Yang Berhormat Puan Speaker, bagi mengatasi permasalahan perumahan dalam negeri Johor. Gabungan kerajaan Pakatan Harapan yang baru dilantik menjadi parti pemerintah dalam kerajaan negeri Johor telah memansuhkan kuota menegak kerajaan dalam pelaksanaan Program Perumahan Mampu Milik Negeri Johor. Ianya bagi memudahkan cara rakyat Johor menikmati kemudahan rumah secara mampu milik. Istilah mampu milik yang dikaitkan dengan kualiti rumah yang rendah, kemudahan yang tidak dilengkapi dan penyelenggaraan yang baik, pembinaan yang tidak berkualiti perlu dikikis dalam persepsi awam. Melalui pembangunan rumah mampu milik dan kewujudan komuniti pintar perlu bertekad untuk meninggalkan gejala rumah kos rendah yang menjadi kawasan setinggan, kotor, tidak terurus dan menjadi kawasan lubuk jenayah bagi titik hitam dalam sejarah sosial kita. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga memainkan peranan proaktif terutama dalam mengadakan program temu-tembung dengan persatuan-persatuan penduduk demi mewujudkan kembali semangat kekitaan, kejiranan, jaminan keselamatan selain terus menjaga kejiranan hijau dan alam sekitar. Seperti program gotong-royong, membasmi, cegah denggi yang pada akhir Julai yang lepas di pekan Bukit Bakri melibatkan pelbagai agensi-agensi serta masyarakat setempat bagi melahirkan kesedaran bahaya wabak denggi.

Yang Berhormat Puan speaker, dalam menghargai warga emas dalam negeri Johor, telah diwujudkan Skim Takaful Warga Emas Negeri Johor. Pemohon yang layak ini berdaftar dalam sistem e-Kasih di pejabat daerah. Skim ini membantu pewaris dalam pengurusan khairat kematian. Ianya telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor bersama EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan. Konsep peduli rakyat ini terguna pakai di negeri Johor bagi meringankan beban kehidupan rakyat. Usaha murni ini harus ditingkatkan dan ditambah nilai bagi keselesaan rakyat negeri Johor.

Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, permasalahan rakyat yang telah lama berlarutan di kawasan Bukit Naning, permohonan geran tanah pemilikan untuk rizab Melayu di kawasan pendalaman yang telah diusahakan oleh masyarakat setempat bagi meningkatkan ekonomi menemui jalan buntu apabila banyak pertindihan nama pemilikan seperti yang berlaku di Kampung Parit Nombor Sepuluh, di Seri Bulatan Setia kawasan Bukit Naning. Yang semakin kritikal apabila geran yang telah dikeluarkan bertukar penama lain daripada pemohon. Penama geran ini kemudiannya menjual kepada pihak lain, pihak ketiga dan ini menyebabkan pertelingkahan masyarakat yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat. Masalah ini juga telah berlaku di kawasan lain iaitu di kawasan Mukim Tanjung Sembrong. Sebidang tanah diberikan notis bayaran pendudukan sementara dengan izin

tapping right, kelapa sawit sebanyak RM20,000.00. Begitu juga tanah di Bukit Bentaling yang sehingga kini permohonan geran tanah oleh penduduk masih tergantung, masih belum selesai sehingga kini.

Puan Speaker, infrastruktur jalan raya perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri Johor apabila banyak jalan raya yang sering rosak dan sering dijadikan uji kaji. Kadang kala sehingga setahun, 3 kali rosak dan diperbetulkan. Geografi tanah di Semenanjung Malaysia menunjukkan kebanyakan kawasan yang berhampiran pantai seperti Batu Pahat, Muar merangkumi tanah-tanah lembut, gambut, mempunyai risiko tanah mendap. Kawasan gambut yang mendap bergantung kepada surchart ataupun aras air bawah tanah. Jika perkara ini tidak diselesaikan, ia akan mengganggu kestabilan ekonomi orang-orang kampung untuk pergi dan pulang kerja.

Puan Speaker, untuk membolehkan infrastruktur jalan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat, perlu dirawat semasa pembinaannya dengan kaedah menanam vertical drain atau saliran yang baik dan menggantikan tanah dengan yang tidak sesuai kepada tanah yang lebih sesuai. Puan speaker, saya mohon supaya jalan-jalan di kawasan tanah lembut dan gambut ini mendapat perhatian seperti di Jalan Yong Peng ke Bakri yang berkali-kali telah dibuat uji kaji, namun keadaan ini tetap berlaku dan seterusnya menjadi tanggapan buruk masyarakat setempat bahawasanya kerajaan negeri Johor perlu melaksanakan satu ketetapan supaya jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri ini dapat diperbetulkan dan seterusnya menjadi tempat kemudahan rakyat setempat.

Selaras dengan Perjanjian Air Johor-Melaka, Tuan Speaker pada 24 Julai 2018 yang lepas, Johor akan membekalkan air mentah kepada negeri Melaka sebanyak 35 juta gelen sehari. Tapi dalam masa yang sama, kawasan DUN Bukit Naning masih lagi mengalami masalah bekalan air, bagi kegunaan harian masyarakat setempat. Krisis air ini berlarutan sejak sekian lama terutama di waktu kemuncak seperti waktu perayaan, sebagai contoh ramai anak-anak pulang daripada perantauan untuk balik berhari raya di kampung. Tekanan air di kawasan Bukit Naning dan kawasan sekitarnya mengalami tekanan air yang terlalu rendah. Di samping itu juga, faktor saluran paip yang begitu lama tidak diganti menyebabkan masalah tekanan air rendah di kawasan Bukit Naning semakin kritikal. Mencari jalan penyelesaian kepada masalah air ini, seperti di DUN Sedili, Bukit Naning juga memerlukan sebuah tangki air dan perlu didirikan di kawasan Bukit Naning di Bukit Antarabangsa yang tapaknya telah sedia ada. Untuk pengetahuan Ahli Dewan Negeri yang mulia, rancangan pembinaan tangki air di Bukit Naning telah melalui proses pecah tanah dari kerajaan Barisan Nasional yang lepas. Namun begitu, ia hanya dilakukan apabila menjelang pilihan raya. Tapi selepas mereka menang pilihan raya mereka tak teruskan lagi projek pembinaan tangki air ini. Dan hari ini, melalui kerajaan Pakatan Harapan, rakyat Bukit Naning berbesar hati supaya sebuah tangki ini didirikan di kawasan Bukit Naning dan seterusnya memberikan Bukit Naning satu nafas baru supaya bekalan air dapat diteruskan dan menjadi satu kelegaan kepada masyarakat Bukit Naning. Sebagai menyambut Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan bahawa Duli Tuanku menyeru kepada semua Ahli Dewan Negeri memberi penekanan terhadap permasalahan rakyat. Dan suka saya mohon Dewan yang mulia ini mengangkat masalah rakyat ini menjadi satu beban yang perlu dipikul oleh pemimpin-pemimpin dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Jadi saya rasa cukup setakat ini Puan Speaker, saya sudahi dengan wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih kepada YB Bukit Naning. Seterusnya saya menjemput Sungai Balang, YB Sungai balang.

Puan Zaiton binti IsmailUMNO · BNSungai Balang

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam muafakat Johor, salam Sungai Balang gemilang. Pertamanya Sungai Balang merakamkan penghargaan setulus budi kerana diberi peluang untuk berucap pada hari ini. Dengan rasa hormat dan penuh takzim, marilah kita semua merafak sembah dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 pada 9 Ogos yang lalu. Inti pati titah Tuanku jelas menggambarkan betapa Tuanku mengharapkan pimpinan kerajaan yang baru ini akan berjaya memenuhi aspirasi rakyat supaya negeri Johor akan terus maju membangun, kekal aman dan makmur serta rakyat dapat hidup dengan sempurna dan sejahtera serta membawa Johor ke persada dunia, sekali gus memancarkan iltizam untuk mengangkat kehidupan rakyat Johor menjadi sebahagian komuniti dunia yang terhebat.

Yang Berhormat Puan Speaker, Sungai Balang memulakan ucapan perbahasan ini dengan memetik sebaris kata di dalam surat seorang pahlawan perang dari pemerintah yang amat masyhur pada zaman Khalifah Al-Makmun iaitu Tahir bin Husin kepada anaknya Abdullah iaitu; ‘Allah telah membuat ihsan kepadamu dengan memberikan jawatan ini iaitu wali atau wakil kepada rakyat. Atas sebab itu pertahankanlah hak milik mereka, bela kepentingan mereka, tenteramkan kehidupan mereka sehari-hari dan masukkanlah rasa senang kepada mereka. Kau bertanggungjawab di hadapan Allah, engkau akan ditanya kebaikan diganjari kejahatanmu sedemikian pula. Apa sahaja yang engkau kerjakan dahulu dan mana pula engkau kemudiankan’.

Yang Berhormat Puan Speaker, atas kerana amanah yang telah diberikan rakyat kepada Sungai Balang, maka hari ini Sungai Balang bangun di Dewan yang mulia ini membawa suara rakyat walaupun berada dipihak pembangkang. Sungai Balang mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi izin, ruang dan peluang untuk berucap pada sidang kali ini oleh Yang Berhormat Puan Speaker. Sungai Balang ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Speaker, dan juga Timbalan Speaker yang telah dilantik sebagai Speaker dan Timbalan Speaker di Dewan Negeri Johor pada penggal ini. Sungai Balang juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor serta barisan Yang Berhormat EXCO yang telah diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk mentadbir negeri Johor. Sungai Balang ingin memetik kata-kata Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa jawatan yang diberikan itu mempunyai tanggungjawab yang besar dan mesti dipikul dengan jujur dan amanah. Dan Sungai Balang mendoakan agar kepimpinan di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan lebih baik dan terbaik dalam memimpin Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, Sungai Balang ingin membawa beberapa perkara. Yang pertama KWSP 2% untuk suri rumah. Yang Berhormat Puan Speaker, Sungai Balang menyambut baik cadangan kerajaan Pakatan Harapan yang mahu suri rumah di seluruh Malaysia ini mempunyai KWSP dengan nilai 2% yang dipotong dari KWSP suami dan RM50 caruman daripada pihak kerajaan. Sungai Balang melihat ini cadangan yang baik pada bunyinya, namun begitu Yang Berhormat Puan Speaker, sehingga ke hari ini belum lagi ada apa-apa maklumat atau penerangan secara jelas oleh pihak kerajaan berkaitan mekanisme atau kaedah pelaksanaannya. Kecuali ada dipaparkan di media sosial iaitu di Instagram Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat pada 31 Julai 2018 bahawa untuk fasa pertama ini KWSP 2% ini akan diberikan kepada 102,693 orang isteri kepada 12,693 orang isteri kepada ketua isi rumah yang

berdaftar dengan e-kasih. Namun begitu kita tetap jadi tertanya-tanya, apakah kaedah khusus yang akan digunakan oleh pihak kerajaan untuk mengklasifikasikan golongan suri rumah?. Adakah ia hanya tertakluk kepada suri rumah yang suaminya merupakan penjawat awam?. Atau adakah untuk golongan suri rumah yang suaminya bekerja bermajikan sahaja, tidak kira kerajaan mahupun swasta?. Jika ia, apa pula nasib suri rumah yang suaminya bekerja sendiri, kerja kampung, nelayan dan sebagainya yang tidak mempunyai KWSP atau mungkin kerajaan meletakkan untuk kadar had gaji tertentu seorang suami untuk potongan 2% dan diberikan caruman KWSP RM50 tersebut. Adakah ia akan menjadi mandatori untuk suami?. Adakah ia menjadi pilihan kepada suami?. Adakah ia akan dilaksanakan berdasarkan permohonan pemotongan oleh suami?. Pelbagai persoalan diajukan kepada Sungai Balang termasuk isu jika si suami berkahwin lebih dari satu dan semua isterinya adalah suri rumah. Bagaimana pula pembahagiannya. Adakah 2% darab dua atau 2% darab 3 atau 2% darab 3 atau 2% darab 4 atau dibahagi-bahagi 2%. Adakah kerajaan akan memberi caruman RM50.00 kepada semua isteri atau tertakluk kepada isteri pertama sahaja? Macam-macam persoalan diajukan berkenaan dengan KWSP ini. Selain itu, ada juga golongan ibu tunggal tetapi mereka suri rumah yang bergantung sara hidup dengan duit pemberian anak. Adakah mereka ini dikira layak sebagai golongan suri rumah yang diklasifikasikan oleh kerajaan untuk menerima caruman KWSP RM50.00 daripada pihak kerajaan? Jika ia, potongan 2% itu dipotong dari mana.

Yang Berhormat Puan Speaker, memang pelbagai persoalan tentang KWSP ini. Walaupun ini bukan janji parti yang Sungai Balang wakili tetapi sebagai seorang yang telah diamanahkan membawa suara rakyat, suara mereka Sungai Balang angkat di Dewan yang mulia untuk diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Tidak sesekali Sungai Balang lepas tangan memberi jawapan kepada mereka ini bukan janji parti Barisan Nasional. Sungai Balang tetap angkat suara mereka, maka Sungai Balang amat berharap respons yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah logik, rasional dan kukuh bukan semata-mata yang hanya mahu menyelamatkan diri, jawapan sekadar sedap di halwa telinga kita. Biarlah jawapan itu realistik untuk Sungai Balang berikan jawapan kepada persoalan mereka.

Perkara kedua, Yang Berhormat Puan Speaker, berkenaan dengan pembubaran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga, seperti yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan Pakatan Harapan, MPWK yang telah ditubuhkan sejak sekian lama bermatlamat membantu golongan wanita pelbagai bidang di peringkat Parlimen seluruh Malaysia telah pun dibubarkan. Sungai Balang secara jujurnya berdukacita dengan keputusan pembubaran ini kerana selama ini MPWK yang ditubuhkan telah membuktikan mampu membantu golongan wanita dalam pelbagai bidang. Malah di kawasan Sungai Balang sendiri, melalui MPWK inilah lahir usahawan-usahawan wanita kecil-kecilan yang dahulunya suri rumah tangga yang tidak mempunyai apa-apa kemahiran tetapi berhasrat mahu membantu suami menambah pendapatan. Melalui kursus jahitan dan usahawan anjuran MPWK secara percuma, golongan suri rumah ini belajar menjahit dan mampu menjana pendapatan lumayan tanpa perlu keluar dari rumah untuk bekerja. Pendapatan dapat dijana, anak dan keluarga juga terjaga. Melalui kursus andaman dan solekan anjuran MPWK pula kita mampu melahirkan golongan wanita muda yang boleh bekerja sendiri tanpa perlu makan gaji. Melalui kursus masakan, pembuatan kek dan pastri telah dilahirkan golongan wanita yang menjadi pengusaha bakeri yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada wanita lain di luar bandar. MPWK telah banyak sangat membantu golongan wanita. Sungai Balang kurang faham atas sebab apa, MPWK ini dibubarkan setelah Pakatan Harapan memerintah.

Walaupun MPWK begitu banyak memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan wanita, namun Sungai Balang angkat isu di Dewan ini kerana mahu bertanya kepada pihak kerajaan negeri adakah kerajaan negeri, bercadang untuk menggantikan MPWK dengan yang lain tetapi fungsi seumpamanya seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pahang dengan menubuhkan Majlis Perundingan Wanita Negeri. Mungkin kerajaan negeri mahu menubuhkan Majlis Harapan Wanita Johor atau lain-lain nama khusus untuk

membantu golongan wanita pelbagai aspek, terutamanya aspek ekonomi bagi golongan suri rumah tidak kiralah di bandar mahu pun di luar bandar. Sungai Balang sangat mengharapkan kerajaan negeri mahupun pusat mengambil kira akan perkara ini, tidak kisahlah apa nama yang nak diletakkan tetapi bantulah golongan wanita ini. Sungai Balang juga ingin merujuk titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di para empat mengingatkan bahawa mana-mana program yang baik yang telah dibuat oleh pentadbiran dahulu perlulah dikekalkan atau di tambah baik bukannya terus diberhentikan.

Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya perkara ketiga, kedudukan wanita dalam pentadbiran. Yang Berhormat Puan Speaker, Sungai Balang juga mahu membawa perhatian dan tumpuan Dewan yang mulia terhadap isu kedudukan wanita dalam pentadbiran dan menjawat jawatan tinggi. Semasa perbahasan Belanjawan 2018 tahun lalu, Yang Berhormat Yong Peng pernah mengutarakan mengenai pelantikan wanita sebagai Datuk Bandar dan Setiausaha Majlis dengan membawa contoh Datuk Bandar di Pulai Pinang dan Setiausaha Majlis di Seberang Prai adalah wanita. Maka setelah Pakatan Harapan beroleh kuasa ini, adakah kerajaan negeri akan melantik wanita menjawat jawatan tinggi dalam Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain jawatan di dalam mana-mana jabatan kerajaan atau GLC? Hal ini kerana jika Sungai Balang teliti, senarai Ahli Majlis yang dilantik oleh pihak kerajaan adalah sangat sedikit jumlah wanita. Di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri misalnya, hanya dua orang sahaja wanita jika sebelum ini terdapat enam orang wanita dilantik sebagai Ahli Majlis. Lebih sedih lagi di Majlis Daerah Tangkak, yang tidak ada seorang pun wanita yang dilantik sebagai Ahli Majlis. Majlis Daerah Muar, ialah kawasan saya sendiri hanya dua orang wanita dilantik sebagai Ahli Majlis. Sungai Balang kurang pasti apakah tidak ada wanita yang layak untuk dipilih oleh kerajaan Pakatan Harapan atau mungkin golongan wanita ini tidak dipandang oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan walaupun di peringkat persekutuan terdapat ramai golongan wanita dilantik membarisi kabinet. Malah telah mencipta secara Timbalan Perdana Menteri adalah wanita. Atau mungkin kerajaan negeri sedang mempertimbangkan jawatan Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis, Setiausaha Majlis, Pengerusi GLC atau mana-mana ketua jabatan kanan yang boleh dilantik dalam kalangan wanita. Sungai Balang menantikan berita ini di dalam jawapan yang akan datang.

Yang Berhormat Puan Speaker, Sungai Balang amat berharap pihak kerajaan negeri Pakatan Harapan tidak memandang remeh atau dikesampingkan soal kedudukan dan pembangunan wanita merangkumi pelbagai aspek. Kerajaan negeri Johor harus ingat negeri Johor ini mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2017, jumlah penduduk wanita adalah seramai 1.8 juta. Walaupun jika diteliti dalam manifesto Pakatan Harapan, tidak ada muka surat yang fokus ke arah memperkasakan wanita kecuali KWSP 2% untuk suri rumah yang masih tidak jelas pelaksanaannya.

Yang Berhormat Puan Speaker, pusat asuhan iaitu taska di tempat kerja atau isu pengasuh di rumah. Yang Berhormat Puan Speaker, Sungai Balang juga mengambil ruang dan kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak kerajaan Pakatan Harapan di peringkat persekutuan kerana telah mengambil langkah mewujudkan taman asuhan kanak-kanak iaitu taska di semua jabatan dan agensi kerajaan menjelang Januari tahun depan. Perkara ini diumumkan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Sidang Dewan Rakyat pada 24 Julai yang lalu. Sungai Balang kira, langkah ini amatlah baik dan harus diberikan pujian kerana Sungai Balang yakin dan pasti, ia akan disambut baik oleh kakitangan awam terutamanya kaum ibu. Oleh itu Sungai Balang ingin bertanyakan kepada kerajaan negeri, adakah langkah ini akan diikuti dan disokong oleh kerajaan negeri?. Sungai Balang amat berharap pihak kerajaan negeri turut sama akan meneliti perkara ini untuk mewujudkan taska di bangunan kerajaan dan memberi galakkan kepada syarikat swasta untuk mewujudkan taska atau pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja di negeri Johor ini. Hal ini kerana adanya taska di tempat kerja, ia akan mengurangkan kebimbangan golongan ibu terhadap anak-anak yang ditinggalkan kepada pengasuh. Setidak-tidaknya, di waktu rehat, makan tengah-hari, ibu-ibu boleh pergi menjenguk anak-anak mereka. Sekiranya ibu-ibu perlu bekerja lebih masa, anak-anak tetap berada berdekatan dengan

mereka. Maka golongan ibu-ibu ini boleh bekerja secara optimum kerana tidak begitu risau akan keadaan anak-anak mereka yang belum ditinggalkan kepada pengasuh jauh dari tempat kerja. Apatah sejak akhir-akhir ini seperti bermusim pula, kes bayi meninggal dan cedera di tangan pengasuh. Perkara ini benar-benar mendatangkan kerisauan kepada ibu bapa. Maka Sungai Balang kira, pihak kerajaan negeri perlu memberi perhatian serius berkenaan perkara ini agar golongan ibu bapa dapat pergi bekerja tanpa rasa teramat risau dengan keselamatan mereka bersama pengasuh.

Yang Berhormat Puan Speaker, penamatan jawatan ketua kampung. Di ruang dan kesempatan ini juga, Sungai Balang mahu bertanya kepada pihak kerajaan negeri yang telah menamatkan serta merta perkhidmatan ketua kampung dalam tempoh notis perkhidmatan 2 hari sahaja iaitu surat bertarikh 28 Mei dan tarikh penamatan ialah pada 31 Mei 2018. Sungai Balang percaya penamatan ini bukan kerana sebab kekangan kos pembayaran gaji kepada ketua kampung. Kerana kerajaan negeri sebelum ini sudah pun menyediakan peruntukan gaji ketua kampung dan kerajaan negeri Johor sebelum ini tidak langsung ada masalah kewangan. Antara alasan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kepada media adalah kerana mahu menstrukturkan semula pentadbiran ketua kampung ke arah yang lebih telus dan berintegriti. Sungai Balang sebenarnya menjadi tertanya-tanya takrifan telus dan integriti yang, Yang Amat Berhormat maksudkan. Hal ini kerana, selama ini semua ketua kampung yang berkhidmat dalam kawasan khasnya di Sungai Balang misalnya, sangat telus dan berintegriti malah mereka sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang apatah lagi fahaman politik. Sungai Balang juga mahu melahirkan kekecewaan terhadap pelantikan bakal ketua kampung yang baru ini. Walaupun dinyatakan bahawa pemilihan ini adalah ditemu duga oleh pejabat daerah dan ditentukan oleh Pegawai Daerah tetapi Sungai Balang melihat, calon-calonnya ditangkap muat asalkan ada ketua kampung sahaja.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Sungai Balang panjang lagi? Sila duduk. Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi membolehkan Ahli Yang Berhormat Sungai Balang boleh berucap dalam dua hari, jadi saya dengan ini menangguhkan Persidangan sehingga jam 9.30 pagi, 13 Ogos 2018.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.