Johor · 2 December 2018

1st session, 3rd meeting · 161 turns · 32,091 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Bacaan selawat). Alhamdulillah pada hari Khamis lepas, kita telah mendengar Ucapan Belanjawan Negeri Johor 2019 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan tema ‘Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari’.

Sekali lagi diucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan juga pegawai-pegawai kerajaan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, suka saya maklumkan bahawa sesi soalan-soalan lisan akan berlangsung selama 1 jam 30 minit mulai hari ini hingga 9 Disember 2018.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berhormat Semarang jemput.

Yang Berhormat Dato’... Yang Berhormat Speaker, soalan saya soalan nombor 1. Apakah pendirian kerajaan Johor terhadap sebarang usaha untuk menratifikasi ICERD (International Convention on the Elimination of all form of Racial Discrimination) di Malaysia.

Speaker

Yang Berhormat Rengit, jemput.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 2.

Minta penjelasan apakah pendirian kerajaan negeri Johor berhubung cadangan Ratifikasi ICERD yang dijangka ditandatangani oleh Malaysia pada tahun 2019 yang akan menggugat Hak Istimewa Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam.

Speaker

Yang Berhormat Benut, jemput.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 3. Minta dinyatakan pendirian Menteri Besar Johor dan Kerajaan Negeri mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)?

Speaker

Yang Berhormat Panti, jemput.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 4.

Minta dinyatakan pendirian rasmi Kerajaan Negeri tentang isu menandatangani dan mengesahkan ICERD oleh Kerajaan Pusat PH.

Speaker

Yang Berhormat Layang-Layang, jemput.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 5. Apakah pendirian kerajaan negeri tentang International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimination (ICERD)?

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera, selamat pagi. Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memohon izin untuk menjawab secara bersekali bagi soalan Yang Berhormat Semarang, Rengit, Benut, Panti dan Layang-Layang berkaitan dengan pendirian kerajaan Negeri Johor untuk meratifikasikan International Convention on the Elimination of all form of Racial Discrimination atau lebih dikenali sebagai ICERD (mengeja).

Untuk pengetahuan Ahli Dewan sekalian, ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang mewarisi asas penting daripada deklarasi sejagat hak asasi manusia 1948. Dan sebelum itu dikenali Magna Carta 1215. Secara sejarahnya, definisi hak asasi ini dibentuk berpandukan corak pemahaman barat. Walaupun banyak negara telah menandatangani ICERD ini, tetapi masih terdapat banyak negara juga belum meratifikasikan. Ratifikasi secara mudah bermaksud bersetuju untuk terikat dengannya. Polemik ICERD ini menjadi perhatian masyarakat Malaysia setelah YB Senator Waytha Moorthy di Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan kononnya Kerajaan Malaysia akan berusaha meratifikasikan konvensyen antarabangsa mengenai penghapusan bentuk diskriminasi kaum atau ICERD ini.

Bangsa Johor perlu faham dan meneliti berbagai pendapat serta pandangan profesional mengenai kesan meratifikasikan ICERD ini sebelum memberi pendapat kepada umum. Berbagai pihak di peringkat antarabangsa melihat sekiranya Malaysia tidak meratifikasikan ICERD ini kita anggap degil dan lihat tidak mesra hak asasi rakyat. Walhal Malaysia mempunyai acuan sendiri, sekali gus bersendikan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial serta seiring menjuarai isu hak asasi dalaman, serantau mahupun dunia, walaupun tidak meratifikasikan ICERD ini.

Sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia antara yang terawal menentang dasar aparteid di Afrika Selatan secara terbuka. Bahkan pelopor keamanan ketika penyembelihan kaum di Serbia, Kosovo dan Rohingya. Ketika itu barat dan Nato masih berdiam.

Hak asasi yang diperjuangkan ini dijadikan acuan Malaysia yang sangat unik kerana ia mengiktiraf beberapa perkara, yang pada skala ICERD merupakan satu diskriminasi tetapi pada skala Malaysia adalah satu rahmat bertunjangkan kontrak sosial. Dengan keunikan Perlembagaan Persekutuan negara ini, kita telah pun bebas konflik dan pertumpahan darah, kecuali tragedi yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969.

Pendirian Kerajaan Negeri Johor mudah, dengan keunikan semangat muafakat dan asas yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Malaysia tidak perlu meratifikasikan ICERD atau meratifikasikan mana-mana konvensyen antarabangsa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Kerajaan Negeri bukan sahaja menolak ICERD, ini yang menjadikan kerisauan rakyat terutama orang Melayu, tetapi Kerajaan Negeri juga berikrar untuk sentiasa menolak mana-mana perundangan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Sidang Dewan yang dimuliakan sekalian, Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa isu berkaitan ICERD ini telah selesai. Kerajaan Persekutuan juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan meratifikasikan ICERD. Permintaan saya ialah jangan dipolitikkan lagi isu ini dan akhirnya membawa perpecahan antara satu sama lain. Terima kasih.

Terima kasih Yang Amat Berhormat di atas jawapan. Realitinya pada tahun 2011 yang lalu, kerajaan yang lalu telah menubuhkan satu jawatankuasa teknikal ICERD di Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri dan lanjutan daripada itu, satu kajian lagi juga telah diadakan pada tahun 2015. Dan hasilnya kerajaan tidak meneruskan kerana ianya bertentangan dengan Perlembagaan dan kontrak sosial yang dicapai semasa pertubuhan negara ini pada 1957 yang lalu. Tetapi realitinya baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapannya di Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyatakan bahawa kesediaan Malaysia untuk meratifikasi ICERD ini. Dan saya menerima apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat... Yang Amat Berhormat tentang perkara ini, cuma saya nak tahu, sama ada keputusan ini adalah keputusan sementara ataupun satu yang muktamad dan adakah keputusan ini adalah satu keputusan kolektif di kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan ini? Sekian, terima kasih.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Sebagaimana yang saya nyatakan tadi dalam jawapan saya tadi, kita perkara ini sudah pun kita selesaikan. Makna keputusan pihak kerajaan negeri, kita tidak mengaktifkan ICERD ini, bermakna kita menolak. Jadi saya beranggap perkara itu telah selesai dan soal sama ada keputusan itu jangka pendek dan juga panjang, sebagaimana yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, perkara itu kalau dikatakan tak perlu nak dipanjangkan, bermakna untuk selama-lamanya. Itu sahaja.

Sebenarnya berbagai kaedah boleh direncanakan bagi mengatasi masalah diskriminasi kaum di negara ini tanpa melibatkan ratifikasi ICERD ini. Parlimen juga boleh menggubal undang-undang atau akta berkaitan dengan diskriminasi kaum. Pastinya proses tersebut memerlukan pelan jangka masa panjang melalui kajian dan penyelidikan terperinci, berdasarkan suasana masyarakat di negara kita khususnya di Johor ini. Sesungguhnya imej negara majmuk telah di pamer sekian lama oleh segenap masyarakat tanpa memecahkan sesebuah dinding diskriminasi bangsa antara satu sama lain. Keamanan yang di kecapi ini adalah hasil daya usaha dan kesepakatan yang tersemat sekian lama di antara kita, di dalam masyarakat majmuk di negara kita ini.

Akta berkaitan diskriminasi kaum ini boleh digubal tanpa perlu mengganggu mana-mana perkara atau peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, saya ingin tegaskan di sini, setiap perancangan dan proses penggubalan tersebut memerlukan kajian yang mendalam dan lebih fokus supaya tidak akan menyentuh mana-mana sentimen yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Sebenarnya masih ramai rakyat yang bukan Bumiputera yang faham dan akur dengan peruntukan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan. Mereka faham, mereka sedar peruntukan tersebut adalah atas dasar timbang balas, hasil daripada kontrak sosial sebelum merdeka lagi. Oleh kerana kesefahaman yang dimiliki itu, kita telah berjaya hidup harmoni dan bersatu padu sehingga sekarang ini.

Kita tengok sekali dalam dewan ini pun, oleh kerana persefahaman yang selama ini telah berjaya hidup harmoni dan bersatu hingga hari ini dan sejak ke belakang ini ada sesetengah pihak yang cuba menyentuh sentimen tersebut, besar kemungkinan atas sebab peribadi ataupun misi tertentu sahaja. Percayalah bahawa permainan sentimen perpecahan yang digembar-gemburkan itu hanyalah sekadar polemik yang melayari retorik dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara dan negara kita ini... negeri kita ini.

Namun pada situasi ini, rakyat bukan bumiputera menjadi tidak puas hati dengan polisi berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera apabila berlaku terlalu banyak salah guna dan salah laku dalam polisi tersebut. Polisi yang telah disalahgunakan ini menyebabkan bukan bumiputera merasakan mereka sedang didiskriminasikan, di anak tirikan di negara kita sendiri. Oleh kerana itu, kita sebagai yang mempunyai hak keistimewaan dalam negara ini perlu menjadi lebih bijak dan menterjemahkan keistimewaan itu. Namun jika ianya boleh menyentuh hak-hak Melayu, bahasa Melayu dan kuasa Raja-Raja Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan, maka ICERD tidak boleh diratifikasikan.

Selaras dengan itu, jika ratifikasi ICERD melibatkan perkara tersebut, ia tidak seharusnya dipolemikkan kerana kemajuan negara kita ini akan dapat dipacu dengan baik sekiranya kita masih terperangkap dengan sentimen perkauman. Malaysia yang lebih maju, makmur dan berdaya saing harus dibina atas faktor keadilan untuk semua kaum. Sekiranya ICERD dan langkah meratifikasikan konvensyen yang boleh mencemarkan imej Malaysia, khususnya Negeri Johor, ianya akan ditolak semata-mata supaya ianya tidak tercemar kedaulatan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor. Jelasnya pihak kerajaan akan memberikan lebih fokus kepada pentadbiran dan pengurusan polisi berkaitan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera serta harus memastikan supaya tiada salah guna dan salah laku yang berlaku dalam mengimplementasikan polisi tersebut. Proses implementasi tersebut perlu dilakukan secara terperinci tanpa menyentuh hak-hak istimewa sesetengah komplot masyarakat. Kedudukan istimewa Melayu bumiputera sudah tentu jelas termaktub dalam Perlembagaan, tidak wajar dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi kepada kaum lain. Dia adalah apa yang sudah dipersetujui sejak sebelum merdeka lagi. Namun kita harus sedar dalam mempertahankan hak bangsa sendiri, jagaan... jangan dinafikan juga hak bangsa-bangsa lain. Pada masa yang sama diskriminasi kaum yang melibatkan sosioekonomi peluang pekerjaan dan keadilan hidup sesama rakyat berbagai kaum perlu dihapuskan dan ditangani dengan baik. Terima kasih.

Speaker

Sila.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya. Boleh tak kerajaan negeri mengadakan kursus singkat, lengkap, memahami, mendalami, menghayati Perlembagaan Negara atau Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri kepada semua Ahli Dewan Negeri termasuk pegawai kanan kerajaan sebab dalam sidang Dewan yang lepas saya bercakap soal kontrak sosial, saya bercakap soal Raja Berperlembagaan, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan keistimewaan orang Melayu. Tetapi ada EXCO bercakap menggulung, dia kata jangan amalkan politik perkauman, jangan amalkan politik membakar sentimen keagamaan.

Speaker

Soalan dah kemuka tadi kan?

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Ni saya nak beritahu tahu ni. Dia ada kaitan dengan soalan atas tadi, Tuan Speaker. Dia pun tak faham yang saya cakap tu pun dia tak faham. Maknanya saya nak cadang supaya kerajaan negeri cepat mengadakan, sebab di kalangan ni tak berapa menghayati, mendalami, ditambah lagi..

Speaker

Ini soalan sesi soalan tambahan, bukan cadangan.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat, saya nak cakapkan, kan saya dah sebut boleh tak mengadakan itu sebab hujahnya ialah saya ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, hari ini dia meyakinkan kita bahawa kerajaan negeri tak akan beri sokongan kepada modifikasi ICERO terima kasihlah, tapi kerajaan PH ni dah terkenal dengan u-turn kalau besok dia pusing macam mana. Sebab itu saya rasa langkah awal yang boleh dibuat, kita ada pakar penasihat undang-undang di sini. Buat kursus supaya faham, jangan bila ada untung dalam Perlembagaan mereka gunakan. Bila tak untung pada kaum mereka, mereka gunakan nilai-nilai universal, itu soalan saya. Boleh atau tidak adakan kursus ini?

Speaker

Silakan Yang Amat Berhormat.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Soal perkataan u-turn tu tak da, tapi baru-baru ini ada sebab yang mengajar tu orang-orang sebelah sana (Dewan bertepuk) macam mantan Perdana Menteri suka u-turn pusing-pusing, ah itulah dia yang memulakan perkataan u-turn itu. Tapi macam mana pun apa yang disarankan oleh Yang Berhormat daripada Rengit, itu satu saranan yang baik. Kalau kita perlu mengadakan kursus untuk mendalami balik atau pun untuk mereview balik tak ada masalah. Kita takut nanti jemput Wakil-Wakil Rakyat, Wakil Rakyat sebelah sana tak datang nanti. Kalau nak kata semua Wakil Rakyat mesti semua bukan sahaja dalam Pakatan Harapan.

Speaker

Yang Amat Berhormat, kalau tak silap dalam Belanjawan pun ada satu program khusus untuk menerangkan tentang apa nama perlembagaan ataupun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dalam Belanjawan itu memang ada satu.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Ya memang betul, saya setuju dengan Yang Berhormat Tuan Speaker tadi. Perkara macam gini saya rasa kita sendiri pun faham sebagai warganegara di mana kita telah hidup khususnya di negeri Johor ini begitu lama dan segala bacaan-bacaan tentang Perlembagaan Persekutuan mahu pun Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Johor sedia ada, kita ada perpustakaan pun, boleh baca bila-bila, tak ada masalah, tinggal lagi terpulang kepada diri sendiri punya inisiatif. Dan untuk menjawab soal menyalahgunakan dan juga perkataan u-turn tadi, sebenarnya dalam kerajaan Pakatan Harapan ni kita pada peringkat awal sebelum kita bersama-sama dalam satu coalition parti dan juga kerajaan kita ada perjanjian, perjanjian di antara 4 parti ini, kita hanya 4 parti, tak lebih daripada itu sebenarnya. Tak macam sebelah sana tu, berbelas-belas.

Kita ada kontrak sosial kita, mereka memahami dan mempersetujui kalau DAP kata dia akur Islam sebagai agama rasmi negara, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan dan juga hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu,hak raja-raja Melayu keistimewaan raja-raja Melayu itu ada dalam kita punya perjanjian antara kalau ingin nak lihat kita pun boleh bagi tahu jugalah, kalau ingin. Maka dengan adanya kemuafakatan seperti itu kita tubuhkan yang dinamakan Parti Pakatan Harapan di antara persetujuan consensus di antara semua parti-parti yang berada dalam Pakatan Harapan, kerana pada awal kita sudah pun memberikan kursus pandangan dan juga memberikan penerangan secara terperinci sehinggalah parti-parti Keadilan Rakyat, DAP dan juga Amanah termasuklah Parti Bersatu mempersetujui di antara satu sama lain, bermakna dalam soal timbul dikatakan ada di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri daripada pihak kerajaan cuba menimbulkan sesuatu perkara ataupun dalam erti kata yang ditimbulkan tadi seperti u-turn dan sebagainya saya rasa ini kerana

kadang-kadang ada provokasi datang daripada sebelah sana maka sudah tentulah kadang-kadang macam juga Yang Berhormat daripada Rengit tadi. Baru Tuan Speaker mencelah sikit, tengok dah naik temperature tadi.

Sebenarnya tu tak perlu, tak perlu, kita kena moderate sederhana sahaja kerana perkara ini sebagaimana yang saya katakan tadi sudah selesai. Tak perlu nak di apa dibangkitkan lagi, tak ada isu, no issue, cuma nak nunjukkan kepada rakyat itu sahaja. Saya nak tanya sini Yang Berhormat esok 8 hari bulan, pergi ke tidak perhimpunan …(Dewan ketawa).

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat saya bukan setakat pergi, kita akan pergi beramai-ramai.

Speaker

Soalan tambahan dah habis.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Dia tanya Tuan Speaker.

Speaker

Nanti jawab masa penggulungan.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Amat Berhormat bertanya, saya jawab. Saya akan pergi dan ramai rombongan akan saya hantar ke sana.

Speaker

Ini bukan soal jawab.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Minta maaf. Minta doa meratifikasikan telah dibatalkan cadangan.

Speaker

Ok Tenang.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat pergi ke tidak.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Saya banyak kerja lain.

Speaker

Ok boleh wasap tepi, wasap tepi. Sila Tenang.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Saya akan melawat projek banjir nanti, itu lebih ada makna.

Speaker

Tenang, soalan tambahan Tenang.

Tuan Mohd. Solihan bin BadriBERSATU · PHTenang

Terima kasih Tuan Speaker. Soalan tambahan saya ialah, bagaimana kerajaan negeri boleh mengatasi masalah diskriminasi kaum di negeri ini tanpa melibatkan meratifikasi ACERD?Terima kasih.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tenang, saya bercakap tadi, dia tak dengar ke tadi (Dewan ketawa). Segala kemakmuran, segala pembangunan yang ada ini adalah terbitnya.

Speaker

Ini teguran anak-anak.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Daripada kerjasama di antara semua kaum majmuk di negara kita ini. Itu sebab kita bukan sahaja dapat membangunkan kerana dengan adanya kerjasama di antara kaum kita dapat memerdekakan negara kita daripada penjajah 400 lebih tahun. Sehinggalah kita selepas merdeka kita dapat membangunkan negara kita ini yang dikatakan pada satu ketika dahulu sebagai Asean Tiger selepas tu hilang apa, dah rongak, jadi hari ini kita masih nak cari gigi palsu untuk kita taruk dekat rimau tu. Selepas kita mengambil alih sebagai kerajaan, bermakna di sinilah kita sudah mengamalkan satu sistem persaudaraan yang jitu di antara semua kaum. Pendekatan-pendekatan yang dibuat oleh kerajaan adalah satu pendekatan yang boleh dicontohi oleh negara-negara lain walaupun sebahagian daripada negara lain di dunia mempunyai satu, dua kaum yang berlainan agama, bangsa, budaya dan sebagainya. Tapi kita mempunyai lebih daripada 4, 5 kaum berlainan agama, budaya dan juga amalan politik, bermakna ramuan-ramuan yang kita buat ini sudah diterima. Bukan saja kita diterima oleh rakyat di dalam negara kita ini, bahkan juga menjadi satu role modul kepada negara lain mengambil contoh seperti di Bosnia suatu ketika dulu, walaupun mereka satu bangsa, agama hanya 2 sahaja Islam dan juga Kristian bergaduh tapi kita lebih daripada itu.

Itu sebab pada ketika di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad pergi dan membantu supaya apa yang kita lakukan di sini iaitu di dalam soal negara majmuk kita ini dapat kita satukan, dibawa ke sana untuk menyatukan negara Bosnia. Alhamdulillah diterima dan hari ni negara Bosnia sudah maju.Ini pendekatan ramuan yang kita buat di atas kepimpinan yang ada selama ini. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya Yang Berhormat Pekan Nanas.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan6.

Sila nyatakan statistik penerima Program Air Percuma mengikut daerah pada bulan Julai, Ogos, September dan Oktober 2018 dan jumlah bantuan kerajaan yang disalurkan melalui program ini.

Speaker

Yang Berhormat Machap, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker soalan nombor 7.

Mohon pencerahan tentang sejauh mana perlaksanaan air percuma 10 meter padu air perumahan kediaman kepada golongan B40 dan bekalan air berkualiti tanpa gangguan.

Speaker

Yang Berhormat Sungai Balang, jemput.

Puan Zaiton binti IsmailUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 8.

Berapakah jumlah rakyat yang menerima subsidi air percuma dan berapakah kos yang ditanggung oleh kerajaan?

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya menjawab ketiga-tiga soalan ini secara sekali. Sebelum saya menjawab soalan suka saya maklumkan kepada Dewan yang mulia ini, syukur kepada Tuhan kerana kerajaan Johor di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan sudah berjaya melaksanakan semua janji manifesto kami dalam tempoh 100 hari selepas kita mentadbir. Salah satu daripada janji manifesto tersebut adalah pemberian air percuma 10 meter padu kepada golongan sasaran B40.

Yang Berhormat Tuan Speaker, walaupun jumlahnya tidak nampak tinggi sangat nilai 10 meter padu pada hari ini cuma RM8.00, namun sudah pasti golongan yang memerlukannya akan sangat menghargai usaha kerajaan negeri ini. Mungkin bagi kita tidak banyak tapi RM8.00 ini sangatlah bernilai untuk mereka. Sedikit sebanyak usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan air percuma dapat memberi manfaat dan membantu meringankan beban kos sara hidup golongan sasaran ini. Paling mustahak sekali adalah walaupun lebih 60 tahun UMNO Barisan Nasional memerintah mereka sama sekali tidak mampu beri air percuma kepada rakyat negeri Johor. Kalau ada pun pemberian 20 meter padu air percuma hanya tersenarai dalam e-Kasih yang jumlah penerimanya hanya membabitkan kira-kira 3,000 akaun. Ini bermakna terbuktilah bahawa kita sememangnya jauh lebih baik daripada UMNO Barisan Nasional memerintah negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pemberian air percuma 10 meter padu telah dilaksanakan melalui bil keluaran bulan September 2018 kepada penerima-penerima yang layak. Proses mengenal pasti akaun-akaun yang layak menerima pemberian air percuma ini adalah merujuk kepada senarai data penerima bantuan sara hidup BSH 2018 negeri Johor yang dibekalkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri. Melalui maklumat yang diterima ini nombor kad pengenalan, nama dan alamat penerima BSH 2018 telah dipadankan dengan maklumat pemegang aktif akaun bekalan air. Berdasarkan kriteria pemadaman tersebut bilangan akaun yang layak menerima pemberian 10 meter air percuma di Johor adalah sebanyak 205,549 pada bulan September tahun ini manakala pada bulan Oktober 2018, angka adalah 205,926. Itu adalah satu peningkatan berdasarkan kepada permohonan baru oleh pengguna.

Peningkatan ini adalah disebabkan permohonan baru yang diterima oleh kerajaan. Kita juga menjangkakan jumlah ini akan terus bertambah dari semasa ke masa. Perlu diingatkan bahawa mekanisme pelaksanaan pemberian ini adalah secara automatik bagi penerima BSH 2018. Namun, bagi yang bukan pemegang akaun bekalan air, golongan ini boleh membuat rayuan melalui borang yang didapati di kaunter-kaunter SAJ daerah. Tapi, mereka perlulah ada penerima BSH dalam proses

ini pemohon ini dikehendaki melengkapkan borang-borang perakuan bersumpah atas premis yang mereka duduki. Walau bagaimanapun, penerima air percuma 10 meter padu ini hanya layak untuk menerima pemberian ini sekiranya penggunaan air bulanan mereka adalah kurang daripada 35 padu meter padu. Ini bermakna mereka yang guna air lebih dari jumlah ini mereka tidak akan layak menerima air percuma ini walaupun dalam golongan layak awal.

Untuk bulan September tahun ini, walaupun ada 205,549 pemegang akaun yang layak hanya 161,215 pemegang akaun yang menerima pemberian air percuma ini kerana bil air mereka melebihi 35 meter padu atau sesama RM46.00 ada golongan yang lebih. Makna, hanya 141,215 yang rendah daripada 35 meter padu. Begitu juga pada bulan Oktober 2018, walaupun ada 205,926 akaun pengguna yang layak hanya 165,992 pemegang akaun yang menerima pemberian air percuma ini atas sebab yang sama.

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Tuan Speaker sekiranya penggunaan lebih 35 meter padu disebabkan penggunaan yang wajib seperti ada ciri-ciri tertentu contohnya seperti isi rumah dia terlalu ramai maka golongan ini masih boleh mengemukakan rayuan di kaunter SAJ daerah-daerah dan kemudiannya akan mendapatkan kelulusan daripada pihak kerajaan negeri untuk dikecualikan.

Jumlah kos kerajaan untuk menampung Skim Pemberian Air Percuma bagi bulan September dan Oktober 2018, masing-masing adalah RM1,299,390.16 dan RM1,315,914.22. Jumlah rakyat yang menerima bantuan ini adalah jangka dalam sekitar 830,000 orang setiap bulan. Untuk statistik-statistik yang lebih terperinci akan menyenaraikan ke semua penerima melalui daerah, saya akan serahkan terus kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang telah membangkitkan soalan ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, Machap.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya berkaitan dengan bekalan air berkualiti tanpa gangguan. Ini merujuk kepada permasalahan di Simpang Renggam bila mana loji rawatan air di Simpang Renggam terputus ataupun tidak beroperasi dan selepas beroperasi kita dapati gangguan bekalan air yang diterima oleh pengguna-pengguna air ini, airnya ialah berkarat atau berwarna kekuningan yang kadang kala bila kita nak dapatkan air yang bersih tu kadangkala kita terpaksa buang air selama 10 minit air berkarat itu untuk dapatkan air yang bersih itu. Dan, kita cukup risau sama ada air yang berkarat itu boleh menjejaskan kesihatan sebab ada yang mengadu bila mandi dengan air yang tersebut badan gatal-gatal. Dan, kita khuatir air yang kita minum, yang berpunca daripada air yang berkarat itu menjejaskan kesihatan sama ada boleh sakit perut ataupun sebagai ataupun bagaimana. Jadi, saya minta supaya...

Speaker

Air berkarat tu sekarang ke daripada dulu-dulu dah berkarat?

Dari dulu.

Speaker

Daripada dulu eh.

Saya tak pasti dari tempat lain. Tapi di Simpang Renggam kerap berlaku begitu. Jadi, saya minta supaya jaminan air yang berkarat itu kalau kita terminum tidak menjejaskan kesihatan kepada pengguna. Jadi, saya minta daripada EXCO sama ada jawapan lisan atau bertulis diberikan kepada saya, supaya saya dapat jelaskan kepada penduduk di Simpang Renggam. Terima kasih.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Machap. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan dan pihak SAJ sentiasa dalam proses untuk menaik taraf piping-piping di Negeri Johor, yang sekarang kira-kiranya yang masih dalam piping lama adalah kira-kira dalam setakat 6,210 kilometer, yang kita tengah dalam proses untuk ganti dan harap-harap dalam masa yang terdekat dengan proses penggantian paip air, paip air ni daripada jenis asbestos simen dan juga yang lama. isu-isu ini akan kita selesaikan dalam berperingkat dan berfasa. Terima kasih.

Speaker

Pekan Nanas.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB EXCO kerana berjaya untuk melaksanakan Program Air

Percuma ini secara menyeluruh, kerana saya pernah tanya soalan ini banyak kali dalam Dewan yang lepas, pada masa zaman pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional, dia dalam bajet memberi sasaran 5,000 penerima tetapi 5,000 penerima juga gagal dilaksanakan hanya 3,000 penerima sepanjang masa ini. Tetapi, kalau kita tengok kerajaan yang baru, tidak sampai setengah tahun kita meningkat daripada 3,000 kepada 200,000. Ini adalah satu prestasi yang 70 kali ganda lebih baik daripada kerajaan yang lepas. Betul?

Speaker

Soalannya, soalan? (Dewan bertepuk).

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Sebab itu, ini menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan kita adalah ikhlas dan jujur bukan sama dengan Kerajaan Barisan Nasional yang dulu cakap tak serupa bikin. Ini adalah satu kelemahan dan penipuan kepada rakyat...

Speaker

Soalannya?

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Soalan saya, kalau kita merujuk kepada bilangan penerima bantuan JKM pada tahun 2017, penerimanya, adalah 47,831 dan saya nak tanya adakah kerajaan berancangan untuk menaikkan Program Air Percuma daripada 10 meter padu kepada 20 meter padu kepada golongan-golongan miskin yang menerima bantuan daripada JKM pada tahun 2017. Dan pada pandangan saya, saya juga memberi cadanganlah bahawa kos ini tidak semestinya ditanggung oleh kerajaan. Adakah kerajaan juga akan berusaha berbincang dengan SAJ supaya dia memainkan peranan CSR, Corporate Social Responsibility untuk menampung golongan-golongan yang miskin ini, kerana dia hanya melibatkan 47,000 penerima daripada Jabatan Kebajikan Malaysia. Sekian, terima kasih.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nenas yang sentiasa prihatin kepada golongan-golongan sasaran daripada JKM. Saya terima baik cadangan daripada Yang Berhormat Pekan Nenas dan saya perlu maklumkan isu ini dalam Mesyuarat EXCO untuk kita bincang dan juga dengan SAJ dan dalam masa yang akan datang mungkin kita akan memberi update kepada Yang Berhormat dan tapi cadangan saya rasa adalah cadangan yang sangat baik. Sekian, terima kasih.

Speaker

Benut.

Terima kasih Tuan Speaker. Yang Berhormat Dato’, Yang Berhormat EXCO, saya ingin melihat atau mengetahui bagaimana Yang Berhormat boleh membuat keputusan untuk memberi air percuma pada kadar 10 meter padu dan mengehadkan kepada golongan yang menggunakan air setakat 35 meter padu. Adakah Yang Berhormat maklum bahawa di negara kita penggunaan air adalah pada kadar 210 liter sehari dan golongan yang paling tinggi menggunakan air adalah golongan B40. Jadi, dasar Yang Berhormat untuk memberi air ini seolah-olah tidak serius.

Yang Berhormat tahu golongan B40 adalah golongan yang banyak menggunakan air lebih daripada 35 meter padu dan lebih daripada itu maka mereka tidak akan mendapat diskaun 10 meter padu. Adakah itu keadaan, jadi maknanya samalah untuk makluman dulu kita sasarkan 5,000 tak sampai kerana senarai e-kasih atas kerja kuat pegawai-pegawai daerah seluruh negeri Johor ini, akhirnya tidak terkumpul sehingga 5,000 mereka yang berada pada kadar miskin atau miskin tegar. Sebab itu, sukar kita nak mencapai bukan kita tak sasar, bukan kita tak mahu capai, kalau ramai orang miskin maka secara automatik mereka layak. Jadi, bagaimana Yang Berhormat merasionalisasikan dasar Yang Berhormat bahawa nak beri 10 meter padu tapi kept pada 35 meter sedangkan kita tahu bahawa golongan B40 lah yang paling banyak menggunakan air. Apakah asas Yang Berhormat?

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Benut, ingin saya katakan di sini sekali lagi, Skim Pemberian Air Percuma 10 meter padu kepada golongan B40 ini pertama, adalah satu skim pemberian golongan sasaran. Kedua, ini juga adalah satu skim di mana kita mengajak rakyat untuk penggunaan air berhemah. Kalaulah kita beri air macam itu sahaja, dia akan hantar satu mesej yang mungkin orang salah faham. Kalau kita kata 10 meter padu mungkin dia akan guna lagi 10 meter padu itu bukan mesej yang kita nak bagi. Kita nak tolong rakyat meringankan beban mereka golongan B40 dengan pemberian 10 meter padu ni adalah tolong dia bayar RM8.00 itu sahaja eh Yang Berhormat Benut.

Dan, kita telah membuat kajian, sebenarnya 35 meter padu itu sudah mencukupi, kadang-kadang kalau kita tengok statistik yang kita dapat daripada 205,549 orang yang layak 16,1250 orang sebenarnya telah menerima maknanya hampir 80% targetnya telah dicapai. Pada masa yang sama kita memberi pemberian air, kita juga kena mengajak rakyat untuk belajar untuk mengguna air secara berhemah jangan bazir air itulah mengapa kita letak 35 meter padu dan saya telah mendapat maklumat daripada pihak SAJ penggunaan purata sebuah keluarga pun di Johor tak lebih daripada 25 meter padu Yang Berhormat Benut, oleh itu kita kasi elaun 10 meter padu lagi Yang Berhormat Benut. Saya rasa, Yang Berhormat Benut kena fahamlah apa falsafah di belakang kerajaan Johor untuk memberi air percuma ini iaitu adalah golongan sasaran dan pertama kita pastikan rakyat faham khazanah air ini adalah sangat penting. Kita kena ajar mereka atau bersama dengan mereka untuk mendidik mereka untuk mengguna air secara berhemah. Terima kasih.

Speaker

Ok, soalan seterusnya Yang Berhormat Tanjung Surat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 10.

Sekolah Agama Johor telah menjangkau 100 tahun sejak ditubuhkan. Apakah perancangan kerajaan Johor untuk menambah baik dan memperkasakan lagi pembelajaran sekolah ini?

Speaker

Gambir ada wakil? Gambir.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

YB Tuan Speaker, soalan saya nombor 9.

Mohon nyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan mutu pendidikan Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor.

Speaker

Jemput, Yang Berhormat EXCO.

Tuan Haji Aminolhuda bin Haji HassanAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan · Parit Yaani

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Speaker, untuk menjawab soalan 9 dan soalan 10, saya rangkumkan kedua-dua jawapan pada soalan pada satu jawapan. Pertama sekali, antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan serta menambah baik dan memperkasakan lagi pembelajaran Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor antara langkahnya yang pertama, melaksanakan perubahan kurikulum dan pertukaran kitab.

Kerajaan Johor telah meluluskan cadangan perubahan kurikulum dan pertukaran kitab Sekolah Agama Kerajaan Johor secara berperingkat mulai tahun 2018. Kurikulum baru Sekolah Agama Kerajaan Johor dinamakan Kurikulum Standard Sekolah Agama yang merangkumi 4 peringkat kurikulum iaitu : –

1. Kurikulum Standard Tadika Islam Johor 2. Kurikulum Standard Sekolah Agama Tahap 1 3. Kurikulum Standard Sekolah Agama Tahap 2; dan 4. Kurikulum Standard Darjah Khas

Objektif perubahan kurikulum dan pertukaran kitab adalah untuk meningkatkan : –

1. Untuk meningkatkan penguasaan dan kemahiran murid dalam bidang pembacaan dan penulisan jawi, pembacaan Al-Quran dan bahasa Arab 2. Meningkatkan pencapaian dan kualiti hafazan Al-Quran dan Hadis pilihan 3. Memperkenalkan kemahiran asas taranum Al-Quran dan berzanji serta seni khat 4. Memperbaharui isi kandung mata pelajaran berasaskan Mutaal Badrin, risalah Tauhid dan Tasauf 5. Meningkatkan penguasaan ilmu dan pengamalan perkara-perkara fardu ain dan fardu kifayah 6. Mempertingkatkan amalan-amalan lazim yang popular di negeri Johor seperti bacaan Yasin, tahlil, doa dan wirid serta lain-lain 7. Melahirkan murid-murid yang berakhlak mulia 8. Meraikan kurikulum kelas Al-Quran dan fardu kifayah dan fardu ain Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) khususnya pada Tahap 1 sekolah agama kerajaan Johor; dan 9. Menerapkan penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P)

Rancangan pertukaran kitab sekolah agama kerajaan Johor adalah seperti berikut : –

1. Tahun 2018 – Kitab Ibadat Darjah 4, 5, 6 dan Darjah Khas 2. Tahun 2019 – Kitab Tadika Islam Johor dan Darjah 4 3. Tahun 2020 – Kitab Darjah 1 dan 5 4. Tahun 2021 – Kitab Darjah 2 dan Darjah 6 5. Tahun 2022 – Kitab Darjah 3 dan Darjah Khas

Pelaksanaan penerbitan buku latihan aktiviti yang disediakan dan diselenggarakan oleh Bahagian Pendidikan Agama Jabatan Agama Islam Johor, mulai tahun 2019 Bahagian Pendidikan merancang untuk menerbitkan sendiri buku-buku latihan sebagai aktiviti secara berperingkat juga. Sekian.

Speaker

Tanjung Surat silakan, soalan tambahan.

Soalan tambahan saya Tuan Speaker, saya ingin tahu mengenai perubahan kurikulum adakah telah disiapkan? Kalau dah disiapkan, adakah satu panel yang ditubuhkan oleh kerajaan ini atau Jabatan Agama untuk melihat kepada penyediaan kurikulum ini supaya lebih, kata orang lebih moden, pendidikan Islam yang terkinilah dengan ciri-ciri yang mengikut zaman. Jadi adakah setakat mereka yang terlibat itu dalam Jabatan Agama Johor sahaja? Adakah pihak luar, pihak universiti dari Kementerian Pendidikan terlibat sama? Jadi saya ingin penjelasan. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Aminolhuda bin Haji HassanAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan · Parit Yaani

Terima kasih soalan daripada Tanjung Surat. Untuk makluman, bahawa perbengkelan telah dilakukan bersama dengan team daripada beberapa pihak antaranya UTM, UTHM dan individu-individu yang dikenali dalam bidang-bidang agama, untuk membantu dalam memastikan kurikulum itu betul-betul berasaskan kepada ahli sunnah wal jamaah. Yang kedua, kita juga telah mempertingkatkan dalam bentuk P&P iaitu Pendidikan Islam Digital. Ini juga telah kita laksanakan iaitu ada 4 buah sekolah sebagai satu daripada peringkat awal pilot project iaitu Sekolah Agama Bandar, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru; Sekolah Agama Imtiyaz, Kota Masai; Sekolah Agama Kerajaan Johor, Kluang; dan Maahad Johor di Johor Bahru. Ini adalah sebagai satu tindakan yang perlu kita laksanakan untuk sepertimana yang diharapkan iaitu secara moden dan peruntukan tahun depan insya-Allah kita akan cuba usahakan juga untuk pertingkatkan bukan sahaja kepada 4 buah sekolah ini, bahkan akan dilebarkan kepada beberapa sekolah, di peringkat daerah pilot di peringkat daerah. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya Yang Berhormat Larkin, jemput.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 11.

Kadar respons bantuan kecemasan pengurusan bencana adalah membimbangkan kerana proses / SOP bagi mendapatkan kelulusan bantuan yang akan disalurkan mengambil masa sehingga melampaui batas upaya mangsa untuk bertahan. Apakah pendekatan serta langkah pragmatik kerajaan bagi menghadapi isu / situasi 'red-tape'?

Speaker

Yang Berhormat Panti, jemput.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 12.

Minta dinyatakan inisiatif dan bantuan kecemasan banjir di Johor serta sejauh mana penglibatan Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan Negeri bagi menghadapi masalah banjir?

Speaker

Yang Amat Berhormat jemput jawab soalan.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.

Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat Larkin dan juga Yang Berhormat Panti secara bersekali.

Terlebih dahulu kerajaan negeri Johor ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Banjir di peringkat daerah yang telah menjalankan tanggungjawab menangani kejadian banjir dan ribut berlaku di Negeri Johor baru-baru ini. Antaranya kejadian banjir yang berlaku di Kampung Parit Jayos, Seri Medan di Batu Pahat dan banjir kilat di Kampung Kolam Ayer, Simpang Renggam di daerah Kluang pada 13 November 2018 serta kejadian ribut di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang di daerah Johor Bahru pada 15 November 2018 yang lalu. Tidak lupa juga kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang turut membantu dalam melicinkan pengoperasian bencana pada masa tersebut. Ianya tidak akan berjalan dengan lancar sekiranya tiada kerjasama di antara kita dalam menangani kejadian tersebut.

Bagi memastikan segala tindak balas dan respons bagi menghadapi kejadian bencana dapat diselaraskan dengan tersusun, kerajaan negeri menerima pakai Dasar dan Mekanisme Pengurusan Banjir Bencana Negara iaitu MKN Arahan Nombor 20 Semakan Semula, yang mana arahan ini menggariskan mekanisme pengurusan bencana secara lebih menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana. Setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing selaras dengan arahan ini. Justeru, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi khususnya banjir dan terputus hubungan, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Banjir dan Daerah telah menyalurkan bantuan tersebut bersama-sama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyediakan bantuan keperluan asas kepada mangsa-mangsa di pusat-pusat pemindahan seperti makanan kering, tikar dan sebagainya.

Di kesempatan ini, saya juga ingin menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat agar dapat turut membantu menyalurkan sumbangan seperti bahan-bahan makanan kepada mangsa bencana, terutamanya yang berpindah di pusat-pusat pemindahan untuk tempoh jam-jam yang pertama. Ini kerana saya yakin, keberadaan Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah lebih dekat dengan masyarakat. Ini juga sebagai tanda keprihatinan kita terhadap penduduk yang terjejas akibat banjir itu.

Bagi persediaan menghadapi monsun timur laut kali ini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menempatkan barang-barang keperluan bencana di 10 depoh simpanan keperluan bencana, 5 mini depoh dan 69 sektor pangkalan hadapan. Selaras dengan itu, sebanyak 669 pusat pemindahan di negeri Johor telah dikenal pasti yang boleh menempatkan sehingga 175,061 orang. Selain itu, bekalan beras turut ditempatkan di pangkalan hadapan, di pulau-pulau serta penempatan orang asli bagi persediaan menghadapi monsun timur laut pada kali ini. Antara pulau-pulau yang terlibat adalah Pulau Aur, Pulau Besar, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan juga Pulau Tinggi.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah pun menubuhkan kumpulan kerja yang bertanggungjawab bagi melicinkan pengurusan bencana. Antaranya adalah kumpulan kerja sokongan logistik yang diterajui oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), kumpulan kerja kawalan keselamatan yang diterajui oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan kumpulan kerja kebajikan yang diterajui oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kumpulan kerja tersebut bertanggungjawab mempastikan tindakan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa.

Bagi skop pemberian bantuan kepada mangsa bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan pemberian bantuan segera, serta-merta melalui peruntukan negeri kepada mangsa-mangsa bencana seperti kebakaran dan ribut bagi jangka pendek. Bagi jangka panjang pula, mangsa layak untuk dipertimbangkan bantuan penilaian untuk membaiki rumah akibat bencana.

Bagi bencana banjir yang melibatkan skala besar dan melibatkan pembukaan pusat pemindahan, bantuan segera seperti tikar, selimut, makanan dan minuman diberikan sepanjang masa tinggal di pusat pemindahan itu. Bagi mempastikan kesiapsiagaan terhadap banjir khususnya semasa monsun timur laut pada kali ini, beberapa inisiatif serta bantuan kecemasan banjir telah disediakan oleh kerajaan negeri dan pusat.

Pertama, seperti yang saya telah bentangkan dalam Belanjawan Johor 2019, kerajaan negeri Johor amat prihatin dengan musibah bencana yang berlaku di negeri Johor di masa-masa yang lalu. Oleh yang demikian, kerajaan negeri telah menyediakan dana khas bantuan bencana sebanyak RM20 juta bagi kegunaan kecemasan ketika banjir. Ia meliputi bencana seperti banjir, kebakaran, ribut taufan dan pelbagai bencana.

Kedua, kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM300,000 kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membuat perolehan keperluan-keperluan asas mangsa di pusat-pusat pemindahan seperti makanan kering, selimut, keperluan bayi seperti pampers dan lain-lain lagi. Selain itu, sebanyak RM1 juta juga telah diterima daripada kerajaan pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri bagi tujuan yang sama.

Ketiga, bagi melicinkan lagi pengurusan bencana di peringkat daerah, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM100,000 bagi keperluan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk digunakan semasa monsun timur laut hingga Mac 2019 nanti.

Keempat, bantuan wang ihsan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga mangsa. Bantuan wang ihsan ini adalah inisiatif Kerajaan Pusat sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan terhadap mangsa bencana sekiranya kediaman mereka terkesan akibat bencana banjir dengan mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan. Namun begitu, pemberian wang ihsan perlulah memenuhi tatacara sedia seperti yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 25 Ogos 2015. Segala permohonan wang ihsan perlu dapat kelulusan daripada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Pusat. Hanya mangsa yang layak akan menerima wang ihsan ini, menggunakan peruntukan di bawah Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Bagi penyelarasan permohonan bantuan wang ihsan di peringkat negeri dan daerah, ianya diuruskan sepenuhnya oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Johor serta dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah, Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, semenjak Januari 2018 hingga Oktober 2018, sebanyak RM2.3 juta telah diagihkan kepada mangsa bencana yang layak. Oleh itu, saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat memahami dengan lebih jelas Dasar dan Mekanisme Pengurusan Banjir Negara iaitu MKN Arahan No. 20 (Semakan Semula). Selain itu sokongan Ahli-Ahli Yang Berhormat di peringkat daerah juga amatlah diperlukan dalam usaha kita meningkatkan tahap kesiapsiagaan rakyat di negeri Johor ini. Terima kasih.

Speaker

Larkin.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terima kasih di atas jawapan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar secara terperinci.

Lazimnya yang bila berlaku bencana banjir sudah pasti kita selaku wakil rakyat yang akan mula, orang yang pertama dihubungi untuk mendapatkan sebarang bantuan dan memang menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk memberi apa yang terdaya dan termampu untuk membantu mereka. Persoalannya, banyak kawasan yang telah dikenal pasti kerap berlaku banjir kilat di kawasan bandar raya Johor Bahru. Apakah tindakan penyelesaian yang telah kerajaan lakukan bagi mencegah banjir kilat daripada berulang? Terima kasih.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Terima kasih Yang Berhormat Larkin. Sebenarnya dalam soal untuk kita mengenal pasti ataupun pendekatan untuk mengelakkan atau memberikan pendekatan supaya perkara ini tidak berulang, sudah banyak dibuat pada sebelum ini. Di daerah Johor Bahru, ini adalah satu kawasan yang agak unik sedikit kerana kedudukan bandar Johor Bahru ini berdekatan dengan laut. Terjadinya banjir kilat ni salah satu daripada faktornya ialah kerana air pasang laut yang begitu tinggi di samping satu ketika hujan, ketika itu pula hujan lebat. Jadi, laut tidak boleh menerima air daripada darat dan air darat tidak boleh pergi ke laut maka terjadinyalah apa, banjir kilat ni. Biasanya banjir kilat ni berlaku tidaklah begitu lama dalam 2 jam, 3 jam sahaja selepas itu dia surut.

Kita telah pun membuat pendekatan-pendekatan seperti kita membaik pulih contohnya Sungai Segget fasa pertama dan juga fasa kedua, kita juga akan melaksanakan dan dalam proses pembinaan dan akan siap dalam tempoh yang terdekat ini. Begitu juga di kawasan-kawasan di sebelah tengah seperti di Kampung Ungku Mohsin, sebelah Kampung Tebrau dan sebagainya. Sebab-sebab yang menjadikan banjir kilat ini saya ambil contoh di Sungai Kempas umpamanya. Di tengah-tengah Sungai Kempas tu ada satu tiang jambatan kereta api. Jadi kalau air hujan lebat di samping juga laut air pasang, air yang lalui di Sungai Kempas tu akan melanggar tiang yang tengah-tengah, berada di tengah-tengah sungai itu maka air itu akan menolak dan kawasan sekitar kampung-kampung itu akan menjadi banjir kilat. Insya-Allah ini juga dalam perhatian kita,dalam

tempoh yang terdekat ini saya telah berunding dengan KTMB, mereka akan membuat apa yang dinamakan Projek Laluan Berkembar dan salah satu daripadanya akan juga mengalihkan tiang yang berada di dalam sungai, di Sungai Kempas, Sungai Sengkuang dan sebagainya di kawasan Yang Berhormat Larkin ini, maka dengan peralihannya tiang-tiang yang menjejaskan aliran air ini dalam masa yang akan datang nanti, akan apa, kita lihat akan menjadi satu perkara yang boleh menyelesaikan masalah banjir kilatlah, khususnya di kawasan Yang Berhormat Larkin ini.

Insya-Allah banyak lagi pendekatan-pendekatan yang lain yang kita akan buat untuk kita menyelesaikan masalah yang sering kali berlaku. Sebenarnya perkara ini perlu diambil tindakan oleh kerajaan yang lama tetapi mereka hanya lihat saja. Tak ada tindakan. Maka pada ketika inilah, selepas kita mengambil alih banyak pendekatan untuk kita menyelesaikan masalah ini. Kita baru sahaja 7 bulan bukan 60 tahun jadi, ada pendekatan yang kita akan buat untuk menyelesaikan masalah sebagaimana yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Larkin dan juga Yang Berhormat, mana tadi, ha Panti. Terima kasih.

Speaker

Sila.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas jawapan yang diberikan yang saya fikir satu jawapan yang agak menyeluruh.

Seperti sedia maklum bahawa kawasan Segamat juga merupakan satu kawasan yang sering ditimpa banjir khususnya bila hujung tahun, musim tengkujuh dan maklum balas yang saya terima daripada mangsa-mangsa banjir khususnya di kawasan bandar Segamat, berkenaan dengan pendaftaran, dengan apa ni pihak berkuasa yang berkenaan seperti APAM untuk memohon bantuan wang ihsan. Dan, saya telah dimaklumkan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam kawasan daerah Segamat bahawa pendaftaran untuk memohon wang bantuan ihsan ini sering dalam satu situasi yang tidak macam, tidak selaras, tidak apa ni, tidak begitu baik sebab pendaftaran itu dijalankan dengan secara manual. Dan ini kadang kala berlakunya banyak pertindihan ke atas nama-nama mangsa yang telah didaftarkan dan ini telah menimbulkan masalah bahawa sesetengah mangsa banjir yang sebenarnya di kawasan bandar taman ini, khususnya di kawasan Kampung Jawa, di Kampung Abdullah dan juga di Taman Segar, di kawasan bandar Segamat ini mereka tidak, walaupun berdaftar tetapi tidak diberikan apa ni wang ihsan ini. Yang saya maksudkan ialah banjir yang berlaku pada awal bulan Januari 2017 dan saya telah bersama dengan Yang Berhormat ADUN Pemanis berjumpa dengan pihak berkuasa, pihak APAM tetapi kita merasa bahawa kaedah mendaftar apa ni, mangsa untuk memohon itu wang ihsan itu perlu diperbaiki.

Speaker

Soalan, soalan dia.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Ya, saya mohon Yang Berhormat Menteri Besar untuk meneliti perkara ini dan apakah apa ni penambahbaikan yang boleh dijalankan oleh pihak Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam perkara ini? Terima kasih.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Terima kasih Yang Berhormat. Kita memang sedia maklum bahawa daerah Segamat ini sentiasa mengalami keadaan banjir pada setiap tahun. Ini berlaku begitu dahsyat pada tahun 2006 yang dahulu sehingga bukan sahaja mengorbankan nyawa bahkan juga harta benda dan sebagainya. Selain daripada segala tanam-tanaman juga musnah,kerugian yang besar dialami oleh rakyat dan juga kerajaan pada ketika itu bahkan juga dalam tempoh selepas 2006, pada saban tahun juga berlaku banjir.

Itu sebablah saya mengambil inisiatif dan memainkan peranan untuk supaya kerajaan persekutuan bersama-sama dengan kerajaan negeri mengatasi keadaan yang begitu kritikal pada setiap tahun terhadap daerah Segamat ini. Saya telah pun berbincang dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga kepada kementerian-kementerian yang berkaitan untuk meletakkan supaya Segamat ini dimasukkan di dalam ECER iaitu Pembangunan Wilayah Timur kerana dengan melalui ECER ini kita dapat peruntukan yang besar untuk membangunkan infrastruktur ekonomi dan juga mengatasi perkara-perkara yang seperti saya sebutkan ini. Alhamdulillah dengan segala hujah-hujah dan juga songsongan–songsongan yang saya buat pada setiap waktu, kalau dahulunya Segamat ini tidak masuk di dalam ECER akhirnya telah pun diluluskan oleh kerajaan persekutuan untuk dimasukkan daerah Segamat ini, salah satu daerah ECER (Dewan bertepuk).

Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan. Dan di dalam mesyuarat yang lepas saya telah pun memasukkan apakah projek-projek mega untuk dibawa ke daerah Segamat ini dan tidak lupa dan perkara asas yang pertama ialah untuk menambahbaikkan segala infrastruktur termasuklah mendalami sungai-sungai Segamat yang tohor yang sudah lama tidak diselenggarakan dengan betul kerana mungkin pada ketika itu memerlukan belanja yang besar. Di samping juga kita menguruskan tadbir segala parit, anak-anak sungai dan sebagainya,kerana kita dapati punca yang berlaku pembanjiran di daerah Segamat itu adalah puncanya. Jadi, Insya-Allah di dalam masa hadapan nanti bukan sahaja pembangunan yang akan dibawa begitu hebat di daerah Segamat ini, bahkan juga kita akan dapat menyelesaikan masalah kebanjiran yang berlaku saban tahun kepada daerah Segamat ini.

Tentang permohonan yang dinyatakan tadi, agak lambat menerimanya iaitu mangsa-mangsa banjir daripada jabatan-jabatan yang tertentu, mungkin kekurangan kakitangan dihadapi oleh contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mungkin juga wang ihsan yang sepatutnya datang cepat oleh kerana kita memerlukan beberapa dokumen selain daripada kelulusan-kelulusan yang perlu ditandatangani melalui proses-proses tertentu. Saya dapati tidaklah begitu lambat, akhirnya juga sampai. Saya akan lihat perkara ini supaya tidak menjadi satu isu dan juga keresahan di kalangan penerima wang ihsan ini di masa-masa yang akan datang. Itu sebablah saya berfikiran selain daripada untuk mengatasi kelambatan tentang bantuan-bantuan kepada mereka-mereka yang ditimpa bencana ini, infrastruktur yang rosak kerana banjir ini juga perlu diperbaiki kerana kalau kita tidak perbaiki dengan secepat mungkin, mungkin boleh akan menghalang pertumbuhan ekonomi dan juga daripada segi guna pakai harian. Di dalam Bajet 2019 sebagaimana yang saya telah sebutkan juga, itu sebab saya meletakkan satu peruntukan yang besar secara emergency iaitu sebanyak RM20 juta bagi mengatasilah perkara-perkara seperti ini tidak akan berulang lagi di masa-masa yang akan datang. Terima kasih.

Speaker

Soalan yang seterusnya? Jemput, Yang Berhormat Rengit.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 13.

Minta penjelasan tentang kisah bersambung Jambatan Bengkok Malaysia Singapore yang dikatakan dengan penuh yakin bahawa projek ini akan dilaksanakan. Bagaimana reka bentuk barunya dan anggaran kosnya dan bila mula akan dilaksanakan. Mampukah jambatan ini menyelesaikan isu kesesakan tidak berkesudahan itu.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Bacaan doa). Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan pasal jambatan bengkok eh.

Jadi, Yang Berhormat Speaker, sebenarnya projek tersebut baru sahaja diumumkan semula daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang, Perdana Menteri yang ke-7, sebenarnya projek tersebut diumumkan semasa Perdana Menteri yang sama menjadi Perdana Menteri yang ke-4. Jadi, projek ini adalah melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan Malaysia dengan kerajaan sebelah di Singapura. Jadi, kalau ikut masa Perdana Menteri yang ke-4, kerajaan sebelah Singapura tidak bersetuju untuk, sebenarnya hasrat Perdana Menteri bukan nak jambatan bengkok sebenarnya, sebenarnya hasrat nak buat jambatan lurus. Oleh kerana Singapura tidak bersetuju akhirnya dicadangkan untuk buat jambatan bengkok. Jadi, bila, biasanya bila melibatkan kedua-dua kerajaan, sudah tentu kedua-dua pihak akan dengan izin, akan defend kepentingan dua-dua kerajaan. Dan kita ini mengambil pendekatan, Yang Amat Berhormat pun ada membuat kenyataan balas, saya pun ada menambah kenyataan bahawa, kita kerajaan negeri komited untuk menjayakan, merealisasikan hasrat Perdana Menteri.

Yang Berhormat, sebenarnya projek jambatan ini dan kita ada pepatah Melayu eh, kalau menurut biar berakar, kalau mengikut biar pintar. Sebenarnya kita bukan semberono aje, minta maaf, mengikut dengan membuta tuli. Sebenarnya, saya membuat homework sebagai EXCO kita banyak membuat perjumpaan di bawah portfolio saya dengan Port iaitu kita ada Port 3 iaitu Johor Port, Tanjung Pelepas dan Tanjung Langsat.

Dan sebenarnya, di antara kebaikan-kebaikan yang dibuat jambatan bengkok ni pertamanya, kita memikirkan faktor keselamatan bila ada jambatan bengkok ni, bolehlah kapal-kapal yang tidak terlalu

besarlah yang boleh pass thru dengan izin melalui jambatan tersebut jadi memudahkan untuk proses monitoring iaitu kita ada APMM, kita ada Jabatan Laut, kita ada Kastam untuk monitoring perairan kita dengan lebih efisien sebab kita tak perlu pusing satu cycle yang besar eh melalui belakang Singapura. Jadi, oleh yang demikian juga, kita dapat mengurangkan kos penjimatan dari segi aspek fuel consumption dengan izin iaitu penggunaan bahan api. Jadi, penggunaan bahan api ni agaklah besarlah sebenarnya setiap tahun. Jadi, saya pernah naik sendiri kapal tu, kapal Jabatan Laut dengan Pengarah, saya berpusing lebih kurang, baru bergerak dalam 4 kilometer saya tanya dengan Pengarah berapa kos dia, lebih 1 kilometer kapal lebih kurang RM100.00 per kilometer. Kalau bayangkan kalau kita buat satu pusingan yang besar. Jadi, kalau kita kira secara tahunan kita akan banyak menjimatkan kos. Itu dari segi keselamatan dan penjimatan.

Seterusnya tentang pelabuhan, jadi dalam apa juga kita punya perjanjian dengan Singapura eh Singapura selalu mempertahankan tentang kepentingan mereka, Singapura ni orientasi ekonomi Singapura banyak berpaksikan, banyak bergantung kepada kecekapan pelabuhan-pelabuhan. Masih, sekarang masih lagi kita mempunyai pemain-pemain industri, masih mengguna pelabuhan-pelabuhan tersebut. Kalau kedua-dua kita punya, ketiga-tiga pelabuhan kita efisien dia akan menjejaskan ekonomi Singapura.

Jadi, bila kapal-kapal dah boleh past thru boleh melalui jambatan tersebut jadi terutamanya kalau melihat transfer kalau kita melihat Lebuhraya Pasir Gudang banyak penuh dengan lori-lori yang transfer kargo daripada Johor Port ke PTP, kalau kita boleh pass thru kapal kita iaitu paling tak adalah kalau kita ambil kira dipanggil tuck boat atau kita panggil ponton ditarik dengan tuck boat jadi kita boleh transfer kita punya kontena dan kita punya kargo melalui laut lebih jimat daripada kita menggunakan lori-lori yang penuh sesak di lebuh raya. Dan, lori-lori tersebut juga memberi kesan pertamanya, kepada kos maintenance lebuh raya, sebab apa yang merosakkan Lebuhraya Pasir Gudang ni sebenarnya bukan kereta kebanyakan lori-lori yang berat.

Yang keduanya, faktor keselamatan jadi kita boleh reduce kebarangkalian berlakunya kemalangan maut di Lebuhraya Pasir Gudang. Sebab apa, lori-lori ini bila dia berurusan mereka ini mengejar trip eh. Jadi, ada dalam soalan tersebut ada juga cerita pasal kesesakan, bolehkah membantu kesesakan sudah tentulah bila ada satu projek yang baru faktor-faktor untuk mengatasi masalah kesesakan ini telah diambil kira.

Yang Berhormat Speaker, pasal kesesakan di Tambak Johor ini bukan kita nak menunggu jambatan ini. Sekarang pun kita mengambil langkah proaktif, kita ada Jawatankuasa Task Force yang jaga kedua-dua kita punya ni pintu masuk CIQ dan juga Second Link dengan izin untuk menyelesaikan masalah kesesakan dan banyak cadangan-cadangan yang kita dah buat dan tindakan kita buat dan kita pun dah hantar salinan kepada Yang Berhormat Menteri dan juga Menteri-menteri yang berkenaan dan Menteri-menteri pun yang berkenaan sudah turun padang untuk membantu menyelesaikan masalah. Saya rasa, boleh Yang Berhormat jawapan tersebut. Terima kasih.

Speaker

Ya, Rengit silakan soalan tambahan.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih atas penjelasan yang begitu teknikal daripada Yang Berhormat EXCO. Soalan saya, walaupun sebahagiannya mungkin tak dapat dijawab kosnya, reka bentuk yang baru, di manakah jajaran baru jambatan bengkok ni? Kalau kita lalu Tambak, sebelah kanan kita tengok timbunan pasir dah ada timbunan pasir. Di sebelah kiri dah ada bangunan naik bertingkat high rise dengan izin Yang Berhormat Tuan Speaker. So, di manakah jajaran baru jambatan bengkok ini? Dan, saya nak ucap tahniahlah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana bersungguh-sungguh merealisasikan impian menjadi jambatan bengkok ini menjadi impian, disokong oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Mudah-mudahan kita doakan jambatan bengkok ini dapat kita realisasikan tapi cuma saya bimbang sikit...

Speaker

Rengit, sokong tak?

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Saya habiskan dulu Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya cuma bimbang sikit dalam kenyataan calon DAP yang kalah di Air Hitam, Parlimen Air Hitam dia sebut, bahawa DAP lebih prefer jambatan ketiga daripada jambatan bengkok. Ini dalam kerajaan PH yang sama ni, Yang Berhormat Tuan Speaker dah berbeza pandangan dan pendapat jadi tak disokong juga oleh PM, Yang Amat Berhormat PM eh, dia kata susah nak dapat persetujuan daripada Kerajaan Singapura kalau nak buat jambatan ketiga. Jadi, saya nak tahu pendirian kita kata

sini kat mana? Sebab saya tengok Kerajaan PH ni dia pro sikit DAP. Jadi yang mana, kenyataan saya, soalan saya, Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Terima kasih Yang Berhormat daripada soalan tambahan. Sebenarnya, tadi saya cakap, dia bukan saya tak menjawab...

Speaker

Yang pro DAP tu tak nak jawab dulu eh?

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Tak, tak, saya jawab dulu yang tadi. Sebenarnya, saya cakap dalam peringkat awal lagi, saya cakap, sebab tu tak ada kos dan sebagainya. Tentang jajaran, pasal pasir yang berlonggok, pasal sebelah ada tanah pun dah ada milik title individu yang lain, itu kita serahkan kepada projek ni kerajaan persekutuan, kebijaksanaan dan sudah tentu ada cara-cara penyelesaian dia yang kita nak buat, kat mana kita buat. Sebenarnya, jambatan ni tidak semestinya bengkok, kalau dapat persetujuan Singapura eh, makna kita berdoalah eh, kita berdoa dengan Perdana Menteri ini balik semula ke sini eh, hubungan kita bertambah baik, diplomatik antara Malaysia dengan Singapura, jambatan bengkok ni tak jadi bengkok, dia jadi tegak eh. Itu yang kita, kita harapkan kalau tegak, kita tak perlu pun nak acquire tanah sebelah dan kerajaan ada kuasa walaupun sebelah ada tambakan dan sebagainya, kerajaan ada kuasa untuk buat pengambilan tanah untuk kepentingan kerajaan. Dan, tentang perbezaan pendapat ni dalam kerajaan PH ni, tak apalah kita selesaikan, Yang Berhormat sebelah jangan risau, kita dulu pun dituduh tak boleh selesaikan kerusi akhirnya kita selesaikan kerusi, kita menang pilihan raya. (Dewan bertepuk). Itu jangan risau, macam mana pun kita boleh cari titik penyelesaian yang baik dan ini terbukti rakyat menyokong kita dan memberi keyakinan untuk kita menerajui kerajaan kalau rakyat tak yakin kita tak duduk sebelah sini mungkin Yang Berhormat yang sana duduk sebelah sini. Jadi, saya rasa...

Speaker

Pro DAP tu macam mana, Pro DAP tu?

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Kita tak ada pro mana-mana sebenarnya, kita pro kepada rakyat sebenarnya. (Dewan bertepuk). Jadi, apa yang baik untuk rakyat kita akan fikirkan bersama. Dan, kita pun bukanlah kita secara diktator kita mendabik dada, kita ni semuanya baik. Jika ada idea yang sebelah daripada baik, silakan kita duduk bersama, kita tak dapat duduk kat dalam, kita duduk kat luar. Bekas ADUN apa ni bekas Mantan apa ni Tiram boleh jadi orang tengah, insya-Allah. Terima kasih, terima kasih Yang Berhormat, sahabat dia juga. (Dewan ketawa).

Speaker

Ok, sekarang dah pukul hampir pukul sebelas. Satu lagi yang last ya. Jemput, Yang Berhormat Senggarang.

Tuan Ir. Khairuddin bin A. RahimAMANAH · PHSenggarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 14.

Bagaimanakah kedudukan kewangan Tabung Amanah Sumbangan Kuota Bumiputera hasil daripada sumbangan 7.5% ke atas setiap lot bumiputera yang dilepaskan oleh pemaju sebelum PRU14 dan pada masa sekarang serta ke manakah wang Tabung Amanah ini digunakan?

Speaker

Jemput, EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih ADUN Senggarang. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, tujuan penubuhan Akaun Amanah Bayaran Sumbangan Kuota Bumiputera yang ditubuhkan pada 1 November 1997, seperti yang dinyatakan dalam Arahan Amanah adalah untuk membiayai kemudahan faedah taman-taman perumahan. Sehingga 19 November 2018, baki akaun ada sebanyak RM174,345,952.20.

Mulai tahun 2013, bayaran sumbangan yang telah diterima daripada pelepasan unit bumiputera sehingga 19 November 2018, adalah sebanyak RM537,317,984.84. Sehingga 19 November 2018, sumbangan ini telah dibelanjakan sebanyak RM364,535,160.41. Dan, butiran perbelanjaan adalah seperti berikut : pertama, untuk Perbendaharaan Negeri Johor, menyalurkan ke Tabung Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri Johor sebanyak RM80 juta. Kemudian, pembukaan Akaun Semasa AmBank Islamic Berhad, RM10 juta. Yang kedua, agensi penerima adalah Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Kerajaan Tempatan, pembinaan gerai bumiputera jumlahnya adalah RM10 juta.

Yang ketiga, penerima agensi adalah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor menyelaraskan yuran penyelenggaraan Pangsapuri Persiaran Tanjung yang berjumlah RM2.2 juta. Yang kedua, membaik pulih serta menyelesaikan tunggakan utiliti di Pangsapuri Bukit Saujana berjumlah RM13.3 juta. Yang ketiga, bayaran pengambilan balik bagi pembinaan Rumah Mampu Milik Negeri Johor yang sekarang dikenali sebagai Rumah Mampu Biaya sebanyak RM20.3 juta. Yang keempat, agensi penerima adalah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor penyaluran dana untuk Tabung Nelayan Negeri Johor berjumlah RM20 juta, Projek Sekolah Agama Johor RM26.6 juta, EXPO Johor Berkemajuan 2017 berjumlah RM2 juta.

Agensi penerima seterusnya, adalah PIJ Holdings, pinjaman bagi pembinaan Rumah Mampu Milik Johor ataupun Rumah Mampu Biaya RM60 juta menanggung kos pembangunan Rumah Mampu Biaya, Taman Perbadanan Islam Stulang Baru RM10 juta.

Agensi penerima seterusnya, Johor Corporation pinjaman bagi pembiayaan Rumah Mampu Biaya oleh Johor Land Berhad sebanyak RM60 juta. Agensi seterusnya penerima, Permodalan Darul Takzim pengambilan balik tanah untuk pembinaan Rumah Mampu Biaya RM20 juta. Agensi seterusnya adalah Poto Travel, lawatan kerja ke London berjumlah RM822,640.00.

Penerima seterusnya, Ya Ismail and Company pembelian kedai pejabat di Tangkak berjumlah RM1 juta. Agensi penerima seterusnya, Majlis Perbandaran Kluang menaik taraf gerai di Jalan Cengkih, Kluang RM299,000.00. Bina baru gerai ekonomi dan pusat pengumpulan IKS RM144,000.00, Dewan Berbumbung Taman Bersatu RM186,000.00. Pembetungan Flat Taman Bersatu RM89,000.00. Pembinaan bengkel berserta infra RM497,000.00.

Agensi seterusnya adalah Majlis Daerah Mersing Agro Bazar Pertanian RM1.5 juta. Agensi seterusnya, Majlis Perbandaran Segamat, pembinaan Medan Selera Bumiputera Bandar IOI, Segamat RM3 juta. Majlis Daerah Simpang Renggam untuk tujuan membina gerai di tapak permainan RM232,000.00. Penerima seterusnya Johor Land Berhad, pembelian 190 rumah RM35,000.00 berjumlah RM6.6 juta. Pembelian rumah 16 unit rumah RM80,000.00 di Bandar Dato’ Onn RM1.2 juta. Agensi seterusnya adalah Tanjung Bintang Sdn. Bhd. pembelian 46 unit Rumah Mampu Milik berjumlah RM6.9 juta. Loco Advertising and Consulting Sdn. Bhd., Pameran Majlis Amanat Yang Berhormat Menteri Besar RM162,000.00. Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Pembinaan Pasar Sabah RM1 juta. Telekom Malaysia Berhad, Pemasangan talian telefon bagi Taman Maju Jaya dan Taman Setia Sejati RM300,000.00, yang ketiga akhir Majlis Perbandaran Muar menaik taraf Dataran Kelab Rekreasi dan Komuniti Bakri RM300,000.00, pengindahan persisiran Sungai Panchor RM492,000.00, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, Rumah Mesra Rakyat Johor berjumlah RM330,000.00. Agensi seterusnya adalah Perbadanan Usahawan Johor menaik taraf dan menubuhkan inkubator Kompleks Pekan Rabu RM815,000.00 dan terakhir baucar RM1,000.00 bagi mereka yang layak memiliki Rumah Mampu Biaya sejumlah RM3.6 juta. Sekian, Tuan Speaker.

Speaker

Soalan tambahan?

Ir. Khairuddin bin A. RahimAMANAH · PHSenggarang

YB Tuan Speaker, saya tadi dengar, bagi tabung amanah sumbangan kuota Bumiputera sehingga 19 November 2018 adalah RM174,345,952.20. Soalan saya, berapakah baki bersih yang masih ada setelah mengambil kira tanggungan atau bayaran yang perlu dibuat oleh kerajaan dengan menggunakan tabung ini. Adakah masih lagi positif atau pun negatif maknanya defisit.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih di atas soalan tambahan daripada ADUN Senggarang. Sebagaimana saya sebut tadi, baki sehingga 19 November 2018 adalah RM174,345,952.20. Skala kita mengambil kira tanggungan semasa dan juga tanggungan lawatan ke Parlimen-Parlimen di seluruh negeri Johor yang berjumlah RM207,369,216.28 maka baki bersih kepada tabung amanah ini berjumlah negatif RM33,023,264.08. Suka saya menjelaskan kepada Dewan yang mulia ini, komitmen yang telah dibuat ini adalah merupakan komitmen daripada kerajaan yang lepas dan terdapat beberapa projek yang telah kita tarik balik bagi kita mengimbangi semula kepada akaun yang sedia ada kesannya salah satu daripada arahan amanah yang telah ditetapkan kepada tabung ini adalah baki tabung ini hendaklah sentiasa memiliki baki yang mencukupi.

Di antara komitmen tanggungan semasa, pertama, pembelian rumah Bumiputera baucar RM1,000.00 yang dianggarkan RM1 juta. Yang kedua adalah PIJ Holding iaitu menanggung sebahagian kerugian pembangunan Rumah Mampu Biaya iaitu RM2.5 juta, ketiga komitmen tabung ini adalah kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor untuk pendahuluan menyelesaikan tunggakan Pangsapuri Bukit Saujana berjumlah RM11.7 juta, kemudian kerajaan negeri Johor untuk pengambilan balik tanah berjumlah RM87.9 juta. Majlis Daerah Labis untuk pembinaan medan selera Bandar IOI sebanyak RM655,000.00 kemudian kepada KPRJ bagi Program Rumah Mesra Rakyat sebanyak RM16.9 juta. Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. iaitu untuk kos operasi pengurusan lot komersial milik SSI RM338,000.00. Perbadanan Usahawan Johor Berhad juga kos menaik taraf dan menubuhkan inkubator di Kompleks Pekan Rabu, nilai kontrak bernilai RM3.9 juta. Kemudian, Majlis Daerah Mersing, Falco Trading iaitu pembinaan Agro Bazar Pertanian Mersing sebanyak RM176,000.00 sebahagian daripada kontrak keseluruhan iaitu RM1.7 juta. Majlis Bandaraya Johor Bahru, pembangunan gerai PPR Desa Mutiara berjumlah RM1 juta. Perbendaharaan Negeri Johor untuk Johor Corporation pinjaman Rumah Mampu Biaya sebanyak RM40 juta dan terakhir Perbendaharaan Negeri Johor untuk pinjaman kepada PIJ Holding pembinaan Rumah Mampu Biaya berjumlah RM40 juta. Dan, kerajaan Pakatan Harapan telah pun membatalkan atau menarik semula komitmen yang pertama tentang pembinaan gerai PPR Desa Mutiara di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru berjumlah RM1 juta. Yang kedua yang telah ditarik balik adalah baik pulih dan menurap jalan Pasar Peladang di Skudai berjumlah RM300,000.00 di bawah Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah atau sekarang Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan ketiga projek yang telah ditarik balik adalah projek membina Dataran Parit Raja di bawah Majlis Perbandaran Batu Pahat berjumlah RM1 juta. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih EXCO. Saya kira masa dah lewat ini. Soalan-soalan setakat itu sahaja. Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama. Kita berehat 20 minit kita berjumpa semula 11.30 pagi. Sekian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.10 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.30 pagi.

Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) Tahun 2018.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, suka saya mengingatkan bahawa menurut Peraturan Tetap 112 (2) maka perbahasan atas rundingan itu hendaklah dihadkan kepada lunas-lunas am berkenaan dengan dasar dan pentadbiran kerajaan sebagai tersebut dalam Rang Undang-Undang ini. Dimaklumkan bahawa tempoh perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah selama 4 hari iaitu mulai hari ini 2 Disember hingga 5 Disember 2018.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya akan menyeru nama kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya telah perolehi. Untuk pencadang rundingan masa yang diberikan ialah selama 45 minit hingga 1 jam. Penyokong diberi masa 30 minit. Ketua Pembangkang diberi masa 30 minit manakala Ahli-Ahli Dewan yang lain akan diberi masa 15 hingga 20 minit. Bagi membolehkan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berucap saya memohon kerjasama semua agar dapat mematuhi masa yang telah diberikan. Perbahasan atas rundingan bagi bacaan kali kedua Enakmen Perbekalan (2019) Tahun 2018 dimulakan sekarang.

Tuan Mohd. Solihan bin BadriBERSATU · PHTenang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada Tenang untuk mengambil bahagian dalam Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) Tahun 2018. Terlebih dahulu bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang Ke-60, November lalu, patik mengambil kesempatan ini merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada dalam keadaan sihat sejahtera dilanjutkan usaha untuk terus memerintah di atas takhta kerajaan bagi menaungi sekalian rakyat dengan adil dan saksama. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Menteri Besar Dato’ Haji Osman bin Sapian atas penganugerahan Darjah Kebesaran Darjah Mahkota Johor yang mulia pangkat pertama Dato’ Sri Mahkota Johor sempena hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan baru-baru ini serta

tahniah atas pembentangan Belanjawan 2019 yang begitu inklusif selaras dengan tema ‘Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari’.

YB Tuan Speaker, Belanjawan yang dibentangkan begitu menyeluruh dan menyentuh pelbagai lapisan masyarakat daripada peringkat bayi sehingga ke tanah perkuburan, dari murid sekolah ke pegawai tinggi kerajaan dan dari segi geografi pula bermula dari utara Johor sehingga hujung Medini, dari sektor pertanian ke sektor perkhidmatan digital, dari aspek orang Melayu, Cina dan India sehingga masyarakat Orang Asli semuanya mendapat perhatian dan kesaksamaan dalam satu belanjawan yang merangkumi 28 sektor dan 207 titik fokus.

Pembentangan Belanjawan yang begini teliti, menyeluruh dan bertenaga pastinya gabungan dan iltizam mereka yang terlibat termasuk YAB Menteri Besar, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai serta kakitangan kerajaan negeri yang ikhlas mencurahkan keinginannya membangunkan negeri Johor yang dicintai ini sesuai dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan yang berusaha mahu meringankan beban kos kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran dan politik serta merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam ucapan Belanjawan Johor 2019, YAB Menteri Besar menyebut bahawa pihak kerajaan negeri menerima 3,193 maklum balas daripada rakyat dalam tempoh yang singkat. Perkara yang menjadi perhatian awam termasuk aspek perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kesihatan, keusahawanan, sistem pengangkutan awam serta pembangunan belia dan wanita. Kepada rakyat biasa, aspek di sekeliling mereka inilah yang menjadi permasalahan mereka. Ini adalah masalah harian mereka. Walaupun tidak pasti kriteria yang digunakan bagi penyelesaian masalah ini, tetapi ini adalah permasalahan rakyat. Maklum balas dari rakyat ini penting hingga kita berpegang kepada falsafah demokrasi dari rakyat untuk rakyat kepada rakyat.

Jika kita berjaya mengurangkan atau mengatasi masalah ini, kita dianggap kerajaan yang Berjaya. Ini bukan Belanjawan syok sendiri atau sekadar meneruskan belanjawan terdahulu. Syok sendiri tu termasuk faedah dirilah. Pastinya sebelum kita menawarkan penyelesaian, kita perlu tahu apakah permasalahan sebenar. Contohnya, apakah Johor mengalami masalah kekurangan rumah atau berlaku lebihan penawaran rumah. Bagaimana boleh berlaku kekurangan pada masa yang sama berlaku lambakan, tentu ada yang tidak kena dari segi perancangan dan pelaksanaannya. Carian saya melalui berita-berita dilaporkan oleh akhbar sejak tahun lalu mendapati masalah kekurangan rumah hampir tidak dilaporkan tetapi apa yang banyak dilaporkan ialah Johor menghadapi masalah lambakan rumah. Pada 19 November 2017 akhbar Harian Metro dan pada 9 Januari 2018 akhbar Sinar Harian telah menyiarkan kenyataan mantan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri mengenai isu rumah tidak terjual dan beliau akan memberi fokus penyelesaiannya tahun ini. Malangnya beliau dan kerajaannya tewas. Mungkin ini antara penyebab kegagalan mereka dan kita dalam Pakatan Harapan harus tidak mengulangi kegagalan ini.

Pada 7 Julai 2017, mantan Menteri Besar dilaporkan sebuah akhbar bahawa kerajaan negeri dengan para pemaju akan berbincang bagi menyelesaikan masalah 80,000 unit rumah yang tidak terjual. Empat bulan selepas itu, dan selepas mendapat amaran keras daripada bank negara, mantan menteri Besar pada 25 November 2017 sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan yang lebih kurang sama bahawa kerajaan akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah lambakan rumah yang tidak terjual. Akhbar juga ada melaporkan kenyataan bank negara iaitu 83% daripada unit rumah yang tidak dapat dijual adalah dalam kategori harga melebihi RM250,000.00 seunit. Masalah yang dihadapi kerajaan yang lalu dibuktikan dalam Belanjawan 2019 pada Khamis lalu ada YAB Menteri Besar menyebut jumlah hartanah kediaman yang tidak terjual seluruh negeri Johor ialah 5,988 unit dengan nilai keseluruhan bernilai RM3.8 bilion.

Tenang merasakan berlaku suatu yang tidak kena dalam perancangan dan pelaksanaan kerajaan sebelum ini apabila permintaan rumah tinggi tetapi pada masa yang sama berlaku lambakan, rakyat memerlukan rumah mampu biaya kerajaan membiarkan pemaju membina rumah harga mahal. Oleh itu dalam usaha memastikan rakyat negeri ini berupaya memiliki kediaman sendiri, keputusan kerajaan negeri untuk mereformasi sektor perumahan adalah langkah yang amat tepat bagi memastikan hasrat menyediakan 100,000 unit rumah menjelang tahun 2023 tercapai, seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sehingga Oktober 2018 sebanyak 3,714 unit rumah mampu biaya telah siap dibina. 12,320 unit akan dibina bagi tempoh 2019 hingga 2020, manakala sebanyak 7,609 akan dibina bagi tempoh 2021 hingga 2023 menjadikan jumlahnya 23,643

unit. Kerajaan negeri sedar jumlah yang disasarkan masih kurang tetapi Tenang yakin melalui 15 inisiatif yang disusun oleh kerajaan negeri sasaran itu dapat dicapai, insya-Allah. Antara strategi itu ialah menyediakan peruntukan sebanyak RM87 juta untuk mengambil balik tanah-tanah untuk pembinaan rumah. Pembangunan rumah mampu biaya oleh pemaju swasta, usaha sama antara kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan dan pelaksanaan projek-projek penswastaan ini ditambah dengan langkah-langkah yang memperkasakan dasar perumahan rakyat Johor dan strategi dalam aspek pembiayaan hartanah kediaman. Tenang yakin sebahagian besar masalah rakyat berhubung dengan pemilikan rumah mampu milik dalam kemampuan mereka akan selesai menjelang tahun 2023. Berhubung dengan lambakan rumah pula selari dengan kerajaan persekutuan adalah tepat jika kerajaan negeri mengaplikasikan kaedah yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan iaitu penjanaan dana masyarakat dengan izin crowd funding. Kaedah ini tidak melibatkan kewangan kerajaan, sebaliknya pembeli boleh membeli hartanah kediaman terpilih dengan bayaran 20% daripada nilai hartanah berkenaan manakala bakinya 80% akan dibiayai oleh pelabur yang ingin mendapat pulangan dengan kenaikan modal tersebut untuk tempoh masa tertentu. Yang Berhormat Tuan Speaker, seperti yang kita maklum kami ADUN Pakatan Harapan setiap hari masa berkempen dahulu telah diasak rakyat dengan dua persoalan utama iaitu isu penyelewengan 1MDB dan kos sara hidup yang tinggi. Kehidupan rakyat sama ada di bandar atau luar bandar tertekan akibat pendapatan yang tidak dapat menampung hidup dianggap selesa apabila harga barang meningkat. Manakala yang di luar bandar mengeluh pendapatan utama terutama pengusaha sawit dan penoreh tidak stabil malah menurun. Kita sedar bahawa kos sara hidup merupakan satu isu yang tidak boleh dilihat di peringkat negeri sahaja malah perlu perhatian di peringkat nasional. Kajian yang dibuat sekitar tahun 2015 mendapati Johor Bahru menduduki tempat ke 10 di kalangan tempat atau bandar paling mahal di Malaysia selepas Pulau Pinang, Bintulu, Kerteh, Miri, Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Kuching, Kelang dan Labuan. Kajian ini melibatkan harga barangan keperluan harian seperti ayam, sayur-sayuran, sawi, cili merah, ikan dan kadar sewa rumah dan juga keperluan pendapatan minima untuk hidup sempurna. Harapan rakyat terlalu tinggi pada kerajaan Pakatan Harapan. Oleh itu perkara ini wajar menjadi agenda utama kerajaan dan diselesaikan seberapa segera kepada rakyat biasa. Kos sara hidup boleh dikurangkan atau dikawal dengan antaranya mengurangkan atau tidak lagi menaikkan lagi harga keperluan asas seperti petrol dan tarif elektrik. Mereka juga berharap kerajaan meneruskan bantuan seperti BRIM, menstabilkan harga hasil komoditi seperti kelapa sawit dan getah. Manakala sesetengah daripada mereka mahukan kerajaan membantu mereka meningkatkan hasil keluarga melalui aktiviti pengeluaran hasil makanan, pemulihan tanah terbiar menggiatkan ternakan ikan serta hasil laut dan sungai. Saya yakin melalui Belanjawan Johor 2019, inisiatif yang akan diambil akan memberi kesan positif kepada pengurangan beban kos sara hidup terutamanya yang melibatkan bahan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ikan, daging, bekalan makanan dan sebagainya. Di sinilah letaknya peranan kita untuk menggalakkan rakyat aktif dalam program ekonomi dan tidak meracuni fikiran mereka dengan hal-hal lain yang tidak berfaedah. Dalam aspek pencegahan dan penguatkuasaan pula, kerajaan negeri perlu menggerakkan satu kaedah supaya pemimpin masyarakat seperti penghulu, ketua kampung, Ahli Majlis dengan kerjasama jabatan berkaitan seperti KPDNKK meningkatkan kempen kesedaran dan penguatkuasaan ke atas peniaga, terutama yang menaikkan harga sesuka hati dan mendakwa mereka di mahkamah. Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam konteks pengurangan dan pengawalan kos sara hidup, Dewan yang mulia ini perlulah mengakui bahawa perlaksanaan manifesto Pakatan Harapan mula memberi manfaat segenap lapisan masyarakat termasuk golongan B40 penerima bantuan e-kasih, pelajar, peniaga kecil, golongan muda, malah mereka yang akan berkahwin juga dibantu. Ini termasuk pemberian 10 meter padu air percuma, skim takaful warga emas, bantuan RM500.00 kepada pelajar peringkat diploma dan RM1,000.00 kepada peringkat ijazah, Kad Sihat Johor, kursus perkahwinan kelompok secara percuma, bantuan khas nelayan, latihan keusahawanan, pertanian bandar dan mengupayakan koperasi. Pakatan Harapan yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri beriltizam menambah pendapatan rakyat melalui sektor pertanian dan industri asas tani. Kemajuan sektor ini bukan sahaja memberi kesan terus kepada rakyat kerana ia akan meningkatkan pendapatan, menjadikan

pekerjaan dan seterusnya sektor ini menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan pusat. Oleh itu langkah kerajaan negeri menyediakan insentif bagi pembangunan sektor ini tahun depan amat dialu-alukan. Contohnya, pembangunan industri kelapa menjadikan industri agro makanan sebagai bidang daya keusahawanan tani, membangunkan hab kerang-kerangan, penambahbaikan sistem ternakan kupang serta skim bantuan baka ikan dan udang. Selain itu, cadangan bagi memperkukuhkan sistem sokongan dan infrastruktur bekalan sektor pertanian juga amat diperlukan. Contohnya, pembinaan pusat jualan agro mengatasi masalah banjir di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, menaik taraf pasar tani dan caravan tani dan projek pembangunan projek ikan hiasan adalah perancangan yang boleh mengurangkan kos sara hidup melalui penambahan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan di samping meningkatkan hasil negeri. Yang Berhormat Tuan Speaker, mengenai hal pendidikan kerajaan Johor telah mengenal pasti pendidikan sebagai pemacu utama bagi mengubah negeri ini sebagai kuasa besar ekonomi serantau. Kita mengakui bahawa kerajaan terdahulu telah berjaya menyediakan infrastruktur dan kemudahan mencukupi untuk anak bangsa menerima ilmu dan kemahiran. Semakan yang saya sempat buat berkaitan isu-isu yang berbangkit menyentuh sektor pendidikan di negeri ini tidak banyak. Malah kebanyakan rakyat mendapati kualiti pendidikan di negeri ini semakin meningkat dari setahun ke setahun. Adalah diakui bahawa kerajaan negeri berupaya menyediakan pendidikan buat anak-anak Johor bermula dari prasekolah hingga peringkat tertinggi. Pemberian pinjaman pendidikan dan biasiswa banyak membantu khususnya ibu bapa yang menghantar anak mereka ke universiti. Bagi mereka yang kurang menyinar dalam bidang akademik, peluang terbuka bagi menambah ilmu kemahiran melalui institusi kerajaan dan swasta seperti kolej komuniti, institusi kemahiran MARA, pusat serta kolej pendidikan latihan teknikal vokasional. Jumlah sekolah juga mencukupi sehingga banyak sekolah kini dikategorikan sebagai sekolah kurang murid. Oleh itu jika sistem infra dan kemudahan pendidikan di negeri ini sudah dianggap baik, apakah masalah yang kita hadapi sehingga ia menjadi salah satu aduan oleh rakyat bagi dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2019. Akhbar The Star bertarikh 22 Julai 2018 melaporkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, masalah kekurangan guru kini semakin meruncing di bandar-bandar utama termasuk di Johor Bahru, berikutan ramai daripada mereka yang dalam perkhidmatan memilih untuk kembali ke negeri asal bagi bertugas di negeri asal mereka. Katanya kecenderungan mereka ini untuk bertugas di kampung halaman disebabkan kos sara hidup yang tinggi di bandar-bandar besar. Akhbar Kosmo pada 15 Ogos 2018 pula melaporkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, yang memangku portfolio Pendidikan pada tarikh itu bahawa seramai 4,499 daripada 579,923 murid di negeri ini direkodkan sebagai pelajar tercicir pelajaran sehingga kini. Antara faktor berlaku keciciran ialah masalah kewangan, kurang minat terhadap pelajaran, penceraian dalam keluarga serta masalah disiplin. Bagi mengatasi masalah tersebut pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Penyiasat Murid Cicir, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, badan bukan kerajaan dan Polis Di Raja Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing. Ini termasuk mengenal pasti keluarga yang bermasalah, mengadakan motivasi, program kerjaya serta pendidikan alternatif kepada murid. Isu ini mungkin kurang diberi perhatian dalam belanjawan kerajaan negeri yang terdahulu. Berdasarkan senario ini kandungan Belanjawan Johor 2019 telah menggariskan 5 teras. Teras ke lima iaitu memodenkan sistem pendidikan Islam, Modal Insan dan Warisan Budaya Johor. Tenang yakin melalui Pembangunan Modal Insan menerusi pendidikan agama yang menekankan aspek akhlak, budi pekerti beretika dan amanah, iaitu komponen penting membina bangsa Johor Bestari dan mencapai kemajuan ekonomi berprestasi tinggi, masalah ini dapat diatasi, insya-Allah. Melalui teras keempat iaitu demokrasi dinamik kesaksamaan sosial khususnya melalui agenda membangunkan pesona srikandi dan masyarakat kerajaan negeri mengambil berat golongan srikandi dan golongan yang lain yang kurang bernasib baik. Masalah yang dihadapi oleh keluarga sering terjelma kesannya dalam masalah disiplin anak-anak dan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, insentif dan inisiatif kesaksamaan sosial yang disediakan perlulah dimanfaatkan oleh pemimpin dan penggerak masyarakat. Program bantuan peralatan kepada golongan ibu tunggal dan srikandi berpendapatan rendah, kursus peningkatan sosioekonomi golongan sasaran, penambahan dua lagi pusat jaya diri dan menambah peruntukan kepada yang sedia ada adalah penting untuk memastikan golongan ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Bagi mereka yang mampu meningkat dalam bidang pendidikan, kerajaan negeri wajar meneruskan penyediaan kemudahan biasiswa, pelaksanaan tuisyen, pemberian insentif dan pinjaman seperti Biasiswa Sultan Ibrahim, Biasiswa Kenangan Dato Onn, tuisyen SPM, tuisyen e-learning, pengkayaan bahasa Inggeris, pinjaman pelajaran Yayasan Pelajaran Johor dan Didik Harapan Johor, Mahasiswa Anak Johor, KARISMA TAKZIM dan kemuncak usaha itu ialah penubuhan universiti Johor. Sebagai sebuah negara berbilang kaum selain sekolah aliran kebangsaan, Belanjawan Johor 2019 pastinya mengambil kira keperluan pendidikan masyarakat Tionghua dan India, apabila kerajaan negeri menyediakan peruntukan membaik pulih Sekolah Kebangsaan Cina, Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Kolej Universiti Selatan. Begitu juga dengan etnik India apabila peruntukan juga disediakan bagi menambah baik pulih SJK Tamil di negeri ini, walaupun peruntukan itu dilihat mungkin agak kecil Tenang percaya kerajaan negeri yang prihatin dengan keperluan semua akan menimbang bagi penambahan sekiranya diperlukan. Mengenai masalah guru yang ingin bertukar tempat kerja kerana kos sara hidup yang lebih daripada tempat lain, saya yakin ianya sedang difikirkan oleh Kementerian Pelajaran. Mungkin ada beberapa insentif yang akan diusahakan termasuk menaikkan elaun kos sara hidup atau meramaikan lagi anak tempatan menjadi guru. Dalam Dewan yang mulia ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada sumbangan golongan pendidik membangunkan anak bangsa di samping mengingatkan mereka akan 3 tugas pokok iaitu tugas profesional, tugas manusiawi dan tugas kemasyarakatan. Dan dalam konteks tekanan kos sara hidup di sinilah letaknya tugas ke tiga iaitu tugas kemasyarakatan yang merupakan konsensus guru sebagai warga negara yang baik turut mengembang dan melaksanakan apa-apa yang telah digariskan oleh bangsa dan negara melalui dasar-dasar yang telah ditetapkan. Yang Berhormat Tuan Speaker, mengenai peluang pekerjaan dalam Laporan Tahunan 2017, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor ada menyatakan pada tahun berkenaan, Suruhanjaya telah menerima 44,789 permohonan untuk mengisi pelbagai jawatan negeri. Daripada jumlah tersebut 2,439 calon berjaya melepasi tapisan dan dipanggil temu duga. Daripada jumlah yang dipanggil temu duga, seramai 1,440 telah menghadiri temu duga dan seramai 363 orang telah dilantik dan ditawarkan pelantikan tetap. Ini bermakna, hanya 0.81% pemohon yang berjaya diambil bekerja. Pastinya, mereka yang terpilih adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik. Saya tertarik dengan laporan ini kerana begitu ramai pemohon dan begitu sedikit yang berjaya melepasi tapisan. Adakah kerana sebahagian besar pemohon tidak berkelayakan? Jika mereka tidak berkelayakan, mengapa mereka memohon jawatan dalam kerajaan negeri? Adakah ini menunjukkan peluang kerja di negeri ini amat terhad atau mereka lebih suka memilih kerja dengan kerajaan? Kajian perlu dibuat untuk dijadikan panduan bagi kita merancang penyediaan tenaga kerja di masa depan. Contohnya, jika kita menyediakan kemudahan pelajaran yang menyediakan peluang kerja yang lebih besar, itu adalah lebih baik dalam perancangan yang akan dibuat di masa depan. Yang Berhormat Tuan Speaker, apabila kita menyebut mengenai peluang kerja, terbayang kepada kita keluhan rakyat mengenai kebanjiran warga asing yang katanya memonopoli pekerjaan yang terdapat di negeri ini. Sesetengah daripada kita akan berhujah bahawa kehadiran mereka di sini hanya mengisi kekosongan kerja peringkat bawah yang tidak sanggup dilakukan oleh rakyat tempatan. Jadinya, apa permasalahan kepada rakyat apabila rakyat tempatan sendiri yang enggan mengisinya? Apa pun, hal ini perlu diambil perhatian oleh semua warga tempatan agar ruang dan peluang pekerjaan masih ada untuk kita. Dalam keadaan yang berbeza, kekurangan peluang pekerjaan akan menjejaskan masa depan generasi muda terutama para graduan yang baru ingin menapak di alam pekerjaan. Hal ini boleh menyebabkan mereka tidak dapat mengaplikasikan kemahiran yang dimiliki sesuai dengan bidang yang diceburi. Oleh itu, para graduan akan sukar untuk mendapatkan tempat di alam pekerjaan mengikut kesesuaian bidang mereka kerana bukan kerana wujud persaingan dengan warga asing tetapi kajian menunjukkan pencari kerja tempatan sukar mendapat kerja apabila pencari kerja memohon gaji atau faedah yang tidak realistik, lemah penguasaan bahasa Inggeris, memilih pekerjaan dan syarikat, lemah dalam berkomunikasi dan tiada personaliti dan karakter yang meyakinkan. Dalam aspek peluang pekerjaan, pembangunan modal insan adalah satu faktor dalam menjamin dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Johor.

Dalam Belanjawan 2019, keputusan diambil untuk menjenamakan semula Unit SWADAYA yang akan dikenali dengan Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor yang akan menumpu kepada pemilikan data berkaitan peluang dan penawaran kerja serta pemerkasaan kerjasama awam swasta dalam pengaliran maklumat. Langkah kedua ialah memperkenalkan Program Sinergi Industri bagi memperkasakan jaringan Public Private Partnership, dalam menyediakan 200,0000 peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Johor. Tenang ingin mengulangi perkataan berkualiti. SMI akan merancang beberapa siri program di seluruh daerah seperti konvensyen modal insan, dialog dan seminar modal insan serta menjamin kerjasama dengan universiti tempatan ke arah hala tuju pewujudan peluang pekerjaan di negeri ini. Bagi menyediakan 200,000 peluang tenaga kerja bukan suatu yang mudah. Di sinilah pentingnya program latihan dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bakal tenaga kerja mahir ini, telah dipertanggungjawab antaranya kepada Yayasan Pelajaran Johor. Sekali lagi diberi tanggungjawab dan peruntukan menyediakan tabung latihan bagi mengurang kos latihan dan pinjaman pelatih kemahiran. Selain itu, kerajaan negeri juga akan mempergiat program penempatan pakar industri di pusat latihan kemahiran di seluruh negeri. Menjenamakan program pembangunan kemahiran kepada Johor upskilling & reskilling. Program sains teknologi kejuruteraan dan matematik untuk meningkatkan minat generasi muda kepada bidang teknologi dan seterusnya penubuhan Majlis Sains, Teknologi dan Inovasi Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, ada juga peluang kerja dikaitkan dengan kurangnya pembangunan di sesuatu tempat. Contohnya, daerah yang agak pendalaman seperti Tenang. Peluang kerja di sini sesungguhnya amat kurang, ini menyebabkan kuasa beli penduduk amat rendah dan kesannya tidak banyak peluang-peluang perniagaan baru muncul, manakala yang sedia ada sebilangannya sudah mula tutup kedai atau berpindah. Di sinilah pentingnya pembangunan yang merata yang disesuaikan dengan keperluan dan peluang tempat dicadangkan dalam Belanjawan Johor 2019. Peluang-peluang kerja melalui Pembangunan Wilayah amat disokong. Contohnya, pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) yang merangkumi daerah Johor Bahru, Pulai dan sebahagian Pontian, manakala daerah Segamat akan menerima nikmat dari Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Cadangan pembangunan kawasan industri baru oleh Johor Corporation di DUN Gambir akan membuka peluang baru pekerjaan di kawasan berkenaan. Rakyat khususnya pencari kerja di kawasan timur Johor meliputi daerah Mersing dan Kota Tinggi, akan mendapat limpahan termasuk peluang kerja dengan terlaksananya projek baru, pembangunan bandar-bandar baru Mersing, pembinaan beberapa projek besar infrastruktur, projek-projek pelancongan seperti pembangunan pelancongan Tanjung Penyabong dan pembangunan kepulauan Mersing. Peluang kerja terutama yang memerlukan kemahiran juga bakal terbuka dengan kejayaan kerajaan negeri menarik pelabur dari syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Taiwan, China, Singapura, Perancis, Korea Selatan dan Jepun, dengan nilai pelaburan RM8 bilion pada tahun depan. Pembangunan kawasan industri Pengerang contohnya, ia bukan sahaja akan menarik sejumlah RM800 juta pelaburan luar, tetapi yang baik kesannya kepada rakyat tempatan dan sekitar ialah wujudnya 1,700 peluang pekerjaan. Walaupun kerajaan negeri mempunyai keupayaan melaksanakan perancangan ini, rakyat terutama golongan muda dan usahawan harus mengambil peranan dalam memajukan ekonomi negara dengan mencipta peluang pekerjaan mereka sendiri. Khususnya, dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana. Rantaian eko sistem untuk menaikkan nilai PKS perlu berpaksikan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga terlatih dalam bidang masing-masing. Graduan-graduan di Malaysia harus menjadi graduan yang keluar daripada universiti bukan mencari pekerjaan, mereka harus mencipta pekerjaan. Saya ingin menasihatkan pencari kerja termasuk para graduan sebelum meletakkan jumlah gaji yang dipohon, graduan dinasihatkan untuk merujuk kepada jadual gaji yang kebiasaannya digunakan oleh majoriti majikan. Sekiranya anda belum mempunyai sebarang pengalaman bekerja di bidang yang dipohon dan keliru mengenai tahap gaji yang ditetapkan, mencari kerja boleh menyemak tahap gaji permulaan mengikut tahap pendidikan dan kursus pengajian bermula pada peringkat ijazah seperti mana yang telah disenaraikan oleh agensi-agensi pekerjaan contohnya. Kita sedia maklum bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa penghantar paling utama di dunia. Majoriti syarikat menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi. Selain itu, jika pencari kerja di syarikat-syarikat besar, majoriti pelanggan mereka adalah bangsa asing, tingkah laku dan karakter diri yang menarik

akan menyerlahkan pesona diri dalam peluang mendapat pekerjaan yang baik. Dengan karakter yang menarik, tuan-tuan atau pencari kerja tidak akan menjadi penganggur tegar. Majoriti majikan tertarik dengan personaliti pemohon ketika hadir ke sesi temu duga. Yang Berhormat Tuan Speaker, pada masa hampir harga semua barang dan perkhidmatan meningkat, rakyat Malaysia termasuk di Johor masih menikmati perkhidmatan percuma di hospital-hospital kerajaan. Bagaimanapun, masalah yang dihadapi sekarang ialah terlalu ramai pesakit di Johor sedangkan tidak cukup hospital menampung keperluan. Keadaan ini kita warisi dari kerajaan yang lalu. Contohnya, pada Jun 2015, satu kenyataan yang dilaporkan oleh akhbar menyebut Johor memerlukan kira-kira 2,600 kakitangan profesional dan sokongan bagi menampung keperluan mendesak di Jabatan Kesihatan, khususnya 12 hospital awam di negeri ini yang mengalami kekurangan kakitangan pelbagai peringkat. Sebagai contoh, masalah kritikal di Hospital Sultan Ismail di mana ketika itu kekurangan 200 doktor menjejaskan program atau kaedah perubatan baru yang diperkenalkan. Dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 4 September 2018, menyebut 7,000 pesakit baru didaftarkan setiap tahun di Johor. Walaupun, saya tidak mendapat angka terbaru mengenai sektor kesihatan di negeri ini, tetapi saya yakin antara keperluan yang diharapkan oleh rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan ialah mengekalkan perkhidmatan percuma dan pembinaan lebih banyak kemudahan hospital di negeri ini. Mereka tidak dihampakan apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan akan pelaksanaan projek kerajaan persekutuan. Antaranya, pembinaan Hospital Pasir Gudang dengan kos keseluruhan berjumlah RM472.05 juta. Meneruskan pembinaan Hospital Segamat dengan kos RM90.05 juta, menaik taraf kemudahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dengan kos keseluruhan RM88.07 juta. Kerajaan negeri juga akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan pusat untuk membina sebuah hospital baru di Kempas. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana amat prihatin terhadap kesejahteraan rakyat. Kerajaan Pakatan Harapan menginsafi permasalahan hidup rakyat. Dengan kos sara hidup yang tinggi, ditambah dengan masalah kesesakan jalan raya, keadaan agak unik di Johor Bahru kerana kesesakan yang berlaku di bandar ini berkait juga dengan kesesakan yang berlaku di Tambak Johor dan Lebuhraya Link Kedua. Oleh itu, langkah kerajaan negeri yang merangka pelan, yang merangkumi aspek trafik, infrastruktur pengangkutan termasuk pengangkutan awam, penggunaan tanah, perjalanan antara bandar dan wilayah termasuk Singapura, aspek kewangan serta perancangan masa depan, adalah tepat dan sekali gus menjadikannya pengangkutan awam akan menjadi pilihan utama rakyat di Johor. Projek Iskandar Malaysia, bas RAPID Transit (IMVRT) yang dijangka bermula suku keempat tahun depan dan dijangka siap projek fasa 1 pada suku kedua 2022. Dengan adanya sistem ini, rakyat Johor amnya dan Iskandar secara khususnya akan menikmati kualiti kemudahan pengangkutan awam yang mampan, lancar, cepat dan cekap. Pada masa yang sama, sistem pengangkutan rel di negeri Johor juga akan mengalami beberapa fasa kemajuan dengan adanya Projek Laluan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas - Johor Bahru, yang dijangka siap pada 2022. Projek rel transit sistem (RTS) yang menghubungkan Bandaraya Johor Bahru ke Singapura dijangka siap pada tahun 2024. Cadangan bagi memperkenalkan sistem tram dalam kawasan Bandaraya Johor Bahru sebagai satu mode pengangkutan moden yang diselaraskan dengan IMVRT akan berupaya memberi kemudahan kepada penduduk tempatan malah pelancong. Sistem pengangkutan rel komuter bermula dari stesen Kulai dan Bandaraya Johor Bahru di mana bas Muafakat Johor akan menjadi sebagai feader pengangkutan ke stesen-stesen, bukan sahaja akan memberi kemudahan kepada rakyat tetapi akan mewujudkan kawasan pembangunan berasaskan transit iaitu TOD. Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam bidang keusahawanan pula, kejayaan dalam bidang ekonomi sesuatu komuniti itu banyak bergantung kepada tahap keusahawanan di kalangan mereka. Keusahawanan bukan boleh dipelajari di dalam kelas semata-mata, tetapi berputik sejak kecil terutama di kalangan keluarga yang menceburi diri dalam bidang keusahawanan. Bagi memperkasakan sektor keusahawanan, kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta bagi melaksanakan insentif berbentuk bantuan dan latihan khususnya untuk mereka yang melibatkan dalam perusahaan kecil dan sederhana. Antara inisiatif itu ialah pengkomersilan harta intelek, inisiatif usahawan mikro dan membangunkan pusat inkubator usahawan di Taman Perbadanan Islam Stulang Baru. Perancangan kerajaan negeri berterusan dan membangun keusahawanan ini dengan memperkenalkan jejak perusahaan kecil dan sederhana, inisiatif ekonomi kreatif dan cadangan menyediakan pelan induk bagi memperkasakan hab ekonomi kreatif negeri Johor. Inisiatif ini jika

dilaksanakan dengan teliti, dengan penuh iltizam, Tenang yakin ia akan memenuhi hasrat mencipta kekayaan yang baru dan secara tidak langsung meningkatkan KDNK negeri. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin mengakhiri ucapan ini, oleh kerana agak laju jadi ia cepatlah, so, saya raya beri peluang kepada yang lain. Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan menekankan pentingnya diwujudkan sistem pematuhan dan Key Performance Indicator (KPI) dengan izin, dalam melaksanakan projek dan pembangunan yang saya sebutkan di atas. Kita perlu ada penilaian. Setiap suku tahun atau setengah tahun dan di sinilah letaknya Teras Keenam Strategi Belanjawan Johor 2019 iaitu Urus Tadbir Cekap, Berintegriti dan Demokratik.

Saya penuh yakin dengan kepimpinan YAB Menteri Besar bahawa Pakatan Harapan komited memastikan pelaksanaan urus tadbir yang cekap dan berintegriti. Ini penting bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan penuh berhemah dan telus dalam pengurusan meningkatkan hasil kewangan negeri. Antaranya ialah mengenakan caj pemajuan, kadar baharu lesen hiburan, kadar perkhidmatan kepada pentadbir tanah dan program pengukuhan perlombongan sektor mineral di negeri Johor. Bagaimanapun, saya berharap caj pemajuan ini, janganlah terlalu membebankan pemaju sesuatu projek khususnya usahawan baharu yang bermodal kecil kerana ini akan membantutkan usaha mereka bagi mengembangkan perniagaan.

Kecekapan dan pentadbiran pemungutan hasil boleh dicapai dengan penggunaan teknologi moden sesuai dengan perkembangan ITC. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu seharusnya sudah mula menggunakan aplikasi digital dalam sesetengah perkhidmatan mereka. Begitu juga pentadbiran pejabat tanah, perlulah meningkatkan kecekapan mereka termasuk menggunakan aplikasi digital dan proses kerja mereka seperti memproses permohonan tanah, pengurusan tanah rizab Melayu dan tanah rizab Orang Asli.

Sebagai ADUN baharu saya difahamkan pentadbiran kerajaan negeri yang didukung oleh kakitangan khususnya Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Johor (JCS) merupakan yang terbaik dan tercekap di negara ini. Bagaimana pun penambahbaikan adalah satu yang wajib oleh itu menyokong usaha kerajaan negeri membentuk pelan integriti Setiausaha Kerajaan Negeri Johor 2019 – 2021. Selain itu, wajar perkhidmatan yang baik itu diberi imbuhan yang sewajarnya. Oleh itu, insentif-insentif kebajikan pegawai dan kakitangan kerajaan Johor yang diumumkan YAB Menteri Besar adalah wajar. Sebagai mengakhiri perbahasan mencadang Belanjawan Johor membahaskan perbahasan ini, sukalah saya memetik ingatan YAB Menteri Besar bahawa sebagai Ahli-Ahli Dewan Negeri kita perlu menginsafi tentang pimpinan dan tanggungjawab kepimpinan. Kuasa bukan untuk bermegah-megah. Kuasa adalah amanah untuk melunaskan janji kita kepada rakyat. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih daripada Tenang. Hanya mengambil masa tak sampai 45 minit. Seterusnya daripada Pemanis.?

Tuan Dr. Chong Fat FullPKR · PHPemanis

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, selamat tengah hari dan salam harapan. Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim yang ke-60 pada 22 November lalu. Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada dalam keadaan sihat sejahtera dilanjutkan usia untuk terus memerintah di atas takhta kerajaan bagi menaungi sekalian rakyat dengan adil dan saksama. Mudah-mudahan dengan berkat kepimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku negeri Johor akan terus maju, moden dan progresif dengan rakyat bangsa Johor yang bersatu padu. Daulat Tuanku.

Pemanis ingin mengucap setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato’ Menteri Besar atas kurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor baru-baru ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terlebih dahulu Pemanis ingin mengucap tahniah dan syabas kepada YAB Dato’ Menteri Besar dan Jawatankuasa Belanjawan Negeri kerana telah membentangkan satu Belanjawan yang prihatin dan mantap untuk merealisasikan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan iaitu melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk negara keusahawan. Belanjawan 2019 yang berdasarkan pelan pembangunan mampan 2019 hingga 2030 telah merangkumi 28 sektor dan 207 titik fokus yang telah mengambil kira hampir semua lapisan masyarakat pihak swasta dan perkhidmatan awam.

Yang Berhormat Tuan Speaker, YB Menteri Kewangan Malaysia mengambil masa 2 jam lebih untuk membentang Belanjawan Malaysia, YAB Menteri Besar Johor pula mengambil masa 3 jam 7 minit meneliti semua aspek belanjawan dalam 85 muka surat teks belanjawan untuk memastikan Johor berada di landasan terbaik dan Ahli-Ahli Yang Berhormat memahami secara komprehensif Belanjawan 2019.

Tetapi Yang Berhormat Tuan Speaker, dari media akhbar dan media sosial terdapat juga Ahli Yang Berhormat berkomen bahawa Belanjawan 2019 merupakan belanjawan yang rebranding dan copy and paste dari belanjawan lepas. Pemanis berpendapat, ini merupakan satu komen anggur masam, sour grape dengan izin, demi memastikan kesinambungan struktur sosioekonomi yang diwarisi dari kerajaan lama yang kurang telus dan in efisien. Kerajaan Pakatan Harapan sebagai satu kerajaan yang bertanggungjawab terpaksa juga mengambil alih banyak projek yang tertinggal. Kerajaan baharu mengkaji semula, memulih, menambah baik dan menyempurnakan projek-projek tersebut demi untuk kepentingan rakyat. Ini tidak berkaitan sama sekali dengan copy and paste dari kerajaan lama.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Belanjawan 2019 mengandungi anggaran surplus sebanyak RM3.34 juta dan anggaran perbelanjaan mengurus adalah RM1,549.34 juta. Di mana anggaran perbelanjaan pembangunan ialah sebanyak RM600 juta. Ini bermakna nisbah jumlah perbelanjaan yang digunakan untuk pembangunan adalah dalam 28% satu angka yang boleh anggap sihat. Dengan pelaksanaan teras yang keenam belanjawan iaitu memastikan urus tadbir cekap, berintegriti dan demokratik tambah lagi digitalise pengurusan dan penggunaan teknologi komunikasi dan informasi ICT kerajaan dapat menambah efficiency sektor perkhidmatan awam dan menjimat tenaga kerja perkhidmatan awam. Dan, tambahan lagi dengan melaksanakan perbelanjaan dengan berhemah mengurangkan ketirisan dan pengurusan yang cekap, Pemanis percaya nisbah ini akan diperbaiki lagi pada tahun-tahun yang akan datang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan Pemanis memberikan pandangan aspek-aspek sosioekonomi yang akan membawa impak kepada Belanjawan 2019. Pemanis di maklumkan kilang memungut sawit di sekitar Tangkak telah menutup untuk dua hari minggu yang lepas dan berhenti menerima hasil sawit dari pekebun kerana stockpile yang terlalu tinggi. Harga sawit hari ini dalam lebih kurang RM250.00 satu tan. Harga sawit kini dalam trend menurun atau pun down trend dengan izin, dan kita doakan agar tidak mencecah bawah RM200.00 satu tan. Kalau mengikut laporan Jabatan Perangkaan dan Unjuran Kementerian Kewangan Malaysia keadaan akan kekal tanpa perubahan yang besar.

Yang Berhormat Tuan Speaker, apakah implikasinya sebahagian besar penduduk luar bandar sangat bergantung pada harga komoditi, bila harga komoditi jatuh orang kampung mengeluh, meneroka FELDA menderita, pekebun kecil hidup sengsara. Ramai di antara mereka cuba mencari keuntungan dengan menjual kuih muih, menjual nasi lemak, menjual kupang dan hasil-hasil tanaman dari halaman belakang rumah. Mereka berusaha mereka cuba berdikari tanpa menyusahkan orang lain.

Yang Berhormat Tuan Speaker, ini semua adalah cerita benar. Secara logical kerajaan harus membantu mereka. Menggalak mereka berniaga, menawarkan kadar yang kondusif untuk mereka berniaga. Kerajaan yang prihatin telah mengecualikan pembayaran lesen tetapi untuk menampung kerugian dari segi pungutan cukai, pihak PBT telah menaikkan dan mengenakan cukai dari segi lain. Contohnya menambah bayaran pendaftaran, mengenakan permit untuk setiap jenis produk yang dijual misalnya lima jenis buah dikenakan lima bayaran permit dan peniaga-peniaga, penjaja-penjaja kecil ini mereka semuanya pandai kira. Mereka semua sedar bahawa mereka kena bayar cukai yang lebih selepas kerajaan baharu memerintah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dari segi teknikal pihak PBT memang tidak bersalah dalam usaha meningkat pendapatan dari cukai. Tetapi Pemanis merasa memungut cukai yang lebih melalui cara ini mungkin boleh di terjemah sebagai satu penipuan teknikal dan kezaliman terhadap golongan rakyat yang berusaha bertungkus-lumus mencari makan dengan cara yang halal. Oleh sebab itu, Pemanis berharap bahawa teras pertama belanjawan iaitu menjamin kesejahteraan rakyat, meringankan kos sara hidup, semakan semula percukaian PBT harus menjadi satu titik fokus untuk dikaji semula.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pengagihan kekayaan distribution of wealth dengan izin. Di kalangan rakyat merupakan satu aspek kerajaan harus memandang serius. Golongan yang tidak

terlibat secara langsung direct involvement dengan izin dalam aliran ekonomi utama measurement economy dengan izin, harus kerajaan negeri mengambil berat. Golongan ini termasuk peneroka-peneroka FELDA dan pekebun-pekebun kecil yang tergantung pada sumber pendapatan tunggal iaitu sawit atau pun getah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri mungkin tidak larat menjalankan reformasi dan transformasi secara besar-besaran namun Pemanis menyeru agar kerajaan negeri dapat memberi tumpuan kepada industri hiliran atau pun downstream industry, dengan izin, yang berasas tani untuk membantu. Ini termasuk memberi sedikit bantuan modal permulaan menjalankan latihan dan kursus untuk membolehkan mereka mempelbagaikan sumber pendapatan melalui pertanian, teknologi tinggi dan meningkat kebolehpasaran tanaman mereka. Andainya golongan ini terasa seolah-olah mereka dipinggirkan oleh kerajaan, dan jurang kekayaan antara rakyat menjadi lebih jauh, ianya bakal mengancam kestabilan masyarakat khususnya anak-anak peneroka FELDA generasi dua yang kini tiada mempunyai hala tuju.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik kebijaksanaan pemimpin yang memiliki hikmah dalam membangunkan negara dengan menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama hendaklah terus dipupuk agar negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur dapat diwarisi kepada generasi yang akan datang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, ekonomi yang lembap juga bersangkut paut dengan ketenteraman sesebuah negara. Bila ekonomi lembap dan tidak berdaya, rakyat menjadi tidak puas, discontent, dengan izin. Pergolakan awam, public unrest, dengan izin senang berlaku. Tiada satu negara yang boleh dikecualikan termasuk Amerika Syarikat, Perancis yang baru-baru ini mempunyai mogok secara besar-besaran, UK, termasuk negara China. Di Malaysia, khususnya Johor yang berbilang bangsa dan agama harus berwaspada terhadap golongan yang ada agenda niat jahat dan saya yakin bukan dari sebelah sana untuk mengambil kesempatan ini mengguna isu-isu seperti ICERD dan kuil Maha Mariamman, USJ untuk mencetus perselisihan perkauman.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Malaysia sebenarnya tidak memerlukan ICERD buat masa ini. Seperti yang diterangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar pagi ini dan ini adalah kerana kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan polisi berasas keperluan need based policy, dengan izin, dan bukan polisi berasas perkauman, race based policy, seperti yang tersirat di dalam manifesto PRU 14 yang lepas. Pemanis ingin bercadang demi mengelak sebarang salah faham dengan polisi kerajaan, kerajaan boleh mengadakan satu kursus khas untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat dari sebelah sana untuk meneliti manifesto Pakatan Harapan supaya kita boleh bekerjasama lebih rapat lagi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan Pakatan Harapan telah berjanji membina satu juta buah rumah mampu biaya dalam jangka masa dua penggal seperti apa yang ternyata dalam manifesto PRU yang ke-14. Salah satu fokus dalam belanjawan adalah reformasi sektor perumahan di mana kerajaan negeri memikul tanggungjawab yang sangat besar untuk merealisasikan sasaran membina 100,000 buah rumah mampu biaya menjelang tahun 2023. Pemanis ingin bercadang dalam keadaan ekonomi global yang kurang merangsangkan agar kerajaan negeri mendefinisikan semula peranan kerajaan dan syarikat GLC dalam sektor ini termasuk memperkasakan penglibatan sektor swasta secara aktif yang mampu menawarkan kepakaran kualiti perkhidmatan dan pelaksanaan. Manakala kerajaan memberi sumbangan dari segi kapasiti dan infrastruktur yang sedia ada.

Yang Berhormat Tuan Speaker, konsep penswastaan boleh juga diguna pakai untuk sektor-sektor lain termasuk sektor agro-pelancongan dan kerajaan boleh menswastakan projek tersebut mengikut template atau blueprint sedia ada yang disediakan. Biarkan pihak swasta yang menjadi pelaksana projek membebaskan potensi ekonomi sepenuhnya dari sektor swasta yang akan menanggung risiko tanpa kerajaan mengeluarkan sebarang peruntukan dan mencapai matlamat yang dimaksudkan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Pemanis menyambut baik inisiatif kerajaan negeri yang inklusif dan prihatin terhadap keperluan masyarakat India dan Cina dengan peruntukan RM3 juta untuk rakyat India dan RM3.5 juta untuk rakyat keturunan Cina dengan pecahan RM1.5 juta untuk SJKC dan SJKT. Memandangkan pendidikan merupakan satu proses yang merangkumi pengajaran dan pembelajaran, pemberian pengetahuan, pertimbangan dan kebijaksanaan yang sangat mustahak dalam pembangunan negara, dengan penuh keyakinan Pemanis percaya pihak Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar akan mempertimbangkan permohonan tambahan untuk sektor ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan kemajuan bidang perubatan yang menambahkan jangka hayat rakyat, life expectancy, dengan izin, jumlah warga emas akan menambah. Golongan warga emas memerlukan keperluan dan kemudahan yang berlainan. Pemanis berharap kerajaan negeri boleh menjadikan isu ini satu fokus untuk dipertimbangkan dalam Pelan Bangunan Awam dan selain daripada itu, rumah-rumah orang tua harus dianggap satu priority dalam pembangunan negeri.

Yang Berhormat Tuan Speaker, penyelenggaraan jalan menerusi projek MARIS merupakan satu fokus Belanjawan 2019 dan mendapat peruntukan sebanyak RM650 juta. Izinkan Pemanis membawa beberapa soalan yang berkaitan dari akar umbi, rakyat jelata. Dan soalan-soalan ini merupakan soalan umum, general questions, dengan izin, tetapi dalam konteks ini, untuk jalan-jalan negeri dan jalan-jalan kampung seluruh Johor. Soalan pertama, apakah rasional penyelenggaraan jalan melibatkan mengorek dan menurap semula jalan yang masih baik? Soalan yang nombor 2, adakah penyelenggaraan jalan lebih berpaksi pada dana ataupun peruntukan daripada keperluan? Nombor 3, bukankah ini merupakan satu pembaziran menurap semula jalan untuk menghabiskan peruntukan? Kebenaran soalan-soalan tersebut terpulang pada tafsiran masing-masing. Bagi Pemanis ianya berniat baik.

Akhir sekali Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya dari kalangan kerajaan merupakan pihak yang paling rapat dengan rakyat. Kami menangani pelbagai masalah rakyat, boleh kata dari buaian ke kubur, from cradle to grave, dengan izin. Dari orang yang berkahwin, beranak, berkhatan, masuk kolej universiti, rumah melanda ribut, orang meninggal, macam-macam masalah.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar izinkan Pemanis memohon agar pihak Yang Amat Berhormat Dato’ boleh mempertimbangkan kenaikan peruntukan untuk kami. Yang kami dapat sekarang merupakan 10% daripada apa yang Ahli-Ahli dapat. Ciput sahaja. Dan, tidak berapa jauh daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat di sebelah dan, Yang Berhormat Tuan Speaker, sekali lagi Pemanis ingin mengucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Jawatankuasa Belanjawan Negeri yang bertungkus lumus menyediakan satu belanjawan seimbang, komprehensif dan mesra rakyat. Sekian, Pemanis sokong tanpa rizab. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih Pemanis. Seterusnya, Benut.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, di awal perbahasan ini izinkan saya juga untuk mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan yang telah dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia, Pangkat Pertama Dato’ Seri Mahkota Johor pada 22 November yang lepas sempena ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih saya ucapkan atas ruang dan kesempatan yang diberikan kepada saya dan semua ADUN-ADUN pembangkang untuk turut serta mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini. Kami amat menghargai peluang ini untuk bersama-sama memberikan yang terbaik kepada Johor dan seluruh masyarakat. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah kepada 3 ADUN kita yang akhirnya berparti yang berjaya diterima masuk di dalam Pakatan kerajaan. Saya harap mereka lebih berfungsi dan mempunyai hala tuju. Cuma saya ingin ingatkan kemenangan 3 ADUN ini adalah hasil kerja keras dan sokongan padu dari penyokong dan pendukung UMNO Barisan Nasional. Jadi selepas menyalin baju dan membuka topeng mereka mesti menyahut cabaran membuktikan bahawa mereka sebenarnya tetap diterima walau dalam parti mana pun mereka berada. Kerana sebelum ini rakyat memilih mereka atas tiket dan nama UMNO, jadi sekarang buktikanlah pula bahawa mereka kekal menjadi pilihan rakyat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyambut baik saranan daripada rakan saya ADUN Pemanis yang mengatakan bahawa ada komen mengatakan bahawa bajet ini adalah bajet yang copy paste, rebranding, saya rasa itu adalah kenyataan saya. Dan mungkin saya tarik balik. Yang Berhormat kerana bajet yang ada ni saya rasa adalah bajet reclaim, repeat dan rebranding. Sejujurnya semasa mendengar pembentangan Bajet 2019 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar...

Speaker

Mana satu yang ditarik, mana satu yang di umum tu, lebih kurang sama aje..

Mungkin dua aje Tuan Speaker, tak cukup jadi saya tambah satu lagi, 3. Sejujurnya semasa mendengar pembentangan Bajet 2019 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya sukar untuk menggambarkan perasaan ini. Paling hampir yang saya boleh fikirkan adalah saya seakan-akan berada dalam keadaan dejavu. Dejavu kerana sebahagian besar perkara yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar itu adalah perkara yang sudah sering saya dengar sebelum ini. Jadi, seolah-olah satu mesin masa, time machine, yang mengembalikan kita semula kepada zaman sebelum ini. Setidak-tidaknya ia mengingatkan saya dan rakan-rakan pembangkang, bahawa sebelum ini kami dari Barisan Nasional melakukan perkara yang betul, berkesan dan baik. Perkara yang menepati kehendak dan keperluan rakyat, kerana jika tidak, mana mungkin semua usaha tersebut diulang-ulang semula kini.

Saya mempunyai beberapa pemerhatian untuk dibangkitkan berkenaan Belanjawan Johor 2019. Pertama sekali, kerajaan negeri dalam ucapan pembukaan pembentangan Belanjawan 2019 minggu lalu, mengakui bahawa kita akan berhadapan dengan kelembapan ekonomi. Ini adalah satu ramalan yang munasabah dan sangat difahami. Kalau kita perhatikan, rata-rata sesebuah kerajaan apabila berhadapan dengan situasi ini, kita akan membentangkan belanjawan defisit. Ini kerana, menjadi keperluan untuk kerajaan berbelanja lebih demi memastikan kecairan pasaran stabil, banyak projek dapat berjalan dan pembuangan pekerja dapat dielakkan. Jadi, apakah rasional kerajaan negeri membentangkan bajet lebihan dalam iklim ekonomi global, nasional serta setempat yang bakal menguncup dan berada dalam keadaan yang malap? Lebih penting saya ingin mendapatkan penjelasan, apakah strategi dan pelan kontingensi kerajaan negeri Johor untuk berhadapan dan meminimumkan impak kelembapan ekonomi yang bakal kita hadapi ini? Perkara ini saya bangkitkan kerana saya tidak melihat wujud sebarang inisiatif besar yang bertujuan membawa pendapatan baru kepada Johor. Sedangkan dalam konteks semasa, pelbagai dan mencambah sumber hasil yang baru adalah kritikal kepada Johor. Ini adalah amat merugikan jika negeri yang sarat dengan potensi ini tidak dimajukan dengan pemikiran yang baru, segar, berwawasan serta strategik. Kerajaan negeri tidak boleh sekadar menyalin kulit dan membungkus semula usaha-usaha kerajaan negeri sebelum ini. Misalnya, JSIC yang ditukar kepada Johor Invest. Saya yakin, sekadar menukar nama tanpa memberi peruntukan atau lonjakan baru, sudah pasti tidak akan membuahkan hasil kepada pusat pelaburan ini. Sedangkan pada tahun lepas, tanpa menukar nama sekalipun, kerajaan negeri bertindak memberi peruntukan sehingga RM1 juta untuk JSIC. Begitu juga dengan biasiswa YPJ yang disadur dengan nama Insentif Harapan Siswa Johor serta pembinaan karakter murid yang dijenamakan semula sebagai PROSIT. Kesemua ini tidak lebih daripada sekadar proses menukar nama dan menyalin kulit sahaja. Namun, untuk berlaku adil kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya mohon agar beliau menggunakan kesempatan dalam bahas kali ini, untuk menerangkan dengan terperinci, apakah nilai tambah dan pembaharuan yang diberikan dalam program-program ini, selepas nama lamanya dilucutkan dan dipakaikan dengan pakaian baru? Atau adakah semua ini sekadar wayang dipentaskan semula menggunakan skrip baru? Yang Berhormat Tuan Speaker, kedua, saya ingin menarik perhatian, bahawa antara rujukan dan sandaran utama Bajet 2019 ini, bukan setakat Bajet 2016, bukan setakat Bajet 2017 dan 2018. Lebih penting satu perkara yang tidak disedari atau barangkali sengaja didiamkan adalah banyak sekali titik fokus dalam Bajet 2019 yang merujuk dan mencedok tawaran-tawaran dalam Manifesto Barisan Nasional 2019. Saya beri contoh, pertama, titik fokus ke 90, berkenaan penanaman 2 juta pokok di seluruh Johor menjelang 2020. Ini adalah tawaran dalam Manifesto Barisan Nasional Johor seperti yang tertera pada perenggan terakhir muka surat 42, buku Manifesto Barisan Nasional Johor. Kedua, titik fokus yang ke 55, yang mensasarkan pembangunan Tangkak berasaskan pelancongan, juga merupakan tawaran yang terdapat dalam muka surat yang ke 6, buku Manifesto Barisan Nasional Johor. Jadi, sekali lagi saya berterima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar meyakini dan mengakui betapa tawaran-tawaran Barisan Nasional dalam manifesto kami semasa PRU yang lepas adalah sangat serasi dan penting kepada negeri Johor. (Dewan bertepuk) Yang Berhormat Tuan Speaker, saya meneliti juga dengan begitu mendalam dan mengingatkan semula sewaktu kami dalam kerajaan, berita gembira yang dilaungkan oleh Yang Amat Berhormat tentang pelupusan hutang kerajaan persekutuan. Maklumat ini, saya berharap bahawa saya dengan

Yang Amat Berhormat, kita sependapat, bahawa RM189 juta hutang yang dilupuskan ini adalah hutang air, bukanlah hutang keseluruhan kerajaan negeri. Yang Berhormat, mungkin sesuai juga saya mengambil kesempatan di sini untuk memaklumkan kepada kerajaan yang ada bahawa kerajaan yang lepas telah berusaha agar RM334 juta hutang air ini dihapuskan, bukan hanya pada nilai RM334 tetapi jauh lebih besar daripada jumlah tersebut, kerana sewaktu rejim baru bekalan air, kerajaan negeri telah tertinggal angka ini untuk berhijrah ke rejim baru sistem bekalan air. Maka, kerajaan yang lepas telah mengadakan beberapa perundingan dengan pihak kementerian, sama ada Kementerian Air dan juga Kementerian Kewangan dan kita juga telah digambarkan bahawa sekurang-kurangnya RM400 juta akan dilupuskan. Jadi, kerajaan telah bersungguh-sungguh pada waktu itu, menyenaraikan semua tanggungjawab kerajaan persekutuan dalam membiayai bekalan air. Bekalan sumber, Yang Amat Berhormat, perlu dibiayai oleh kerajaan persekutuan. Tetapi oleh kerana keadaan yang mendesak, bekalan air yang terganggu dan bagi menjamin pertumbuhan, kerancakan pembangunan di Johor, maka projek bekalan air terpaksa kerajaan negeri dahulukan. Sebenarnya, ia adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Jadi, untuk tidak membazir usaha yang dibuat oleh pegawai-pegawai kerajaan yang terdahulu, oleh pihak UPEN yang telah mengadakan berpuluh perbincangan dengan pihak kementerian dan telah menyenaraikan semua perkara-perkara yang sepatutnya dibiayai oleh kerajaan persekutuan, apatah lagi bila ada gambaran bahawa kerajaan persekutuan bersedia menghapuskan sekurang-kurangnya RM400 juta, bukan RM189, bukan RM334 juta, Yang Amat Berhormat. Jadi, saya mencadangkan agar usaha itu diteruskan. Kerajaan persekutuan diingatkan semula kerana tanggungjawab kerajaan negeri untuk membuktikan bahawa lebih RM400 juta itu adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, telah pun kita penuhi sepenuhnya. Jadi, Yang Amat Berhormat, kita tidak hendak Yang Amat Berhormat memaklumkan bahawa hutang itu RM334 telah pun dilupuskan, RM189 itu seolah-olah hutang keseluruhan kerajaan negeri. Selain daripada itu, Yang Berhormat Tuan Speaker, Bajet 2019, perkara yang keempat yang saya nak terangkan, adalah tidak sensitif dengan persekitaran dan tidak melihat realiti sekeliling. Misalnya, inisiatif ADUN Belia di bawah IKLAS. Ini sekali lagi adalah inisiatif yang secara kasarnya nampak baik dan perlu, kita patut sokong. Akan tetapi jika Yang Amat Berhormat Menteri Besar maklum, di Johor kita sudah mempunyai satu platform atau gerakan anak muda yang bebas, yang dinamakan Dewan Muda Johor yang bergerak secara mirip dan membayangi Dewan Undangan Negeri Johor. Mereka ini berfungsi mengangkat dan membahaskan dasar serta pentadbiran kerajaan negeri dan lensa pemikiran orang muda yang saya percaya dapat menyumbang kepada penambahbaikan kepada negeri kita. Jadi, saya nak, mungkin melontarkan sedikit pandangan, adakah Yang Amat Berhormat bersedia untuk melihat perbezaan antara ADUN Belia Johor dan Dewan Muda Johor dan mencari yang terbaik, supaya suara orang muda ini dapat kita harmonikan agar ianya dapat menyumbang kepada penambahbaikan kerajaan yang ada pada hari ini. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga ingin melihat kepada perkara yang berada di dalam penekanan bajet kita pada hari ini tentang agenda dinamik upaya kerajaan tempatan. Yang kita tahu bahawa kerajaan persekutuan sedang mengkaji dalam tempoh tiga tahun ini untuk meminda supaya pilihan raya bagi jawatan di PBT diadakan. Apakah pendirian kerajaan negeri terhadap langkah-langkah untuk mengambil pendekatan pilihan raya bagi melantik Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan kita? Sama ada perkara-perkara ini akan, maklumlah pada Malaysia baharu, untuk jangan sekadar hanya nak naik taraf itu dan naik taraf ini, maka kita terlepas daripada melakukan sesuatu yang bertujuan untuk menambah kebaikan kepada negeri kita. Jadi, saya bimbang bahawa kalau kerajaan negeri tidak mengambil pendirian, polisi yang seumpama ini boleh menggugat kekuatan Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Johor. Dan di samping itu juga, Yang Berhormat Tuan Speaker, baru-baru ini saya difahamkan bahawa negeri Johor telah dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin muda dari Singapura, The Twelve Leaders In Administration Programme yang singgah di Johor. Bolehkah Yang Amat Berhormat memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini akan hasil perbincangan dan juga persefahaman yang dapat dibina di antara kerajaan negeri atau pemimpin-pemimpin muda daripada bench kerajaan dengan pemimpin-pemimpin muda Singapura? Kerana seperti mana yang dah dikatakan oleh pembahas sebelum saya, betapa pentingnya hubungan yang baik antara Johor dan Singapura. Betapa pentingnya kita

melihat Singapura sebagai saingan yang penting kerana kita juga sedia maklum bahawa Singapura tahu negeri Johor adalah negeri yang begitu strategik bagi pertumbuhan negara mereka. Jadi, Yang Berhormat Tuan Speaker, kelima, saya juga ingin menunjukkan percanggahan dan beberapa fakta yang berputar-putar dan berbelit-belit, khususnya dalam pembentangan Bajet 2019. Merujuk kepada janji Yang Amat Berhormat Menteri Besar melalui Manifesto Pakatan Harapan yang ingin menjadikan kerajaan negeri ini sebahagian kerajaan negeri yang demokratik. Yang Amat Berhormat pun ada perancangan teras yang mengatakan demokrasi yang dinamik dan kesaksamaan sosial. Tapi Yang Amat Berhormat, untuk makluman, kita tidak akan demokratik dan terbuka jika peranan kami sebagai pembangkang sekadar diiktiraf dengan hanya memberi bilik Ketua Pembangkang sedangkan dari segi pengimplimentasian serta amalannya sangat berbeza dan paranoid. Sehingga tertubuh satu persatuan permuafakatan kampung-kampung warisan negeri Johor. Untuk makluman Yang Berhormat, persatuan ini wujud dengan keahlian seramai 420 orang adalah bekas ketua-ketua kampung yang masih boleh berkhidmat, yang masih mampu memberikan perkhidmatan tetapi tidak disambung, tidak diteruskan perkhidmatan mereka yang mana ianya lebih bersifat kepada tidak adanya sikap keterbukaan oleh kerajaan. Saya juga baru-baru ini berada di kawasan FELDA Yang Berhormat, di Johor Lama untuk berjumpa dengan penduduk di sana untuk mendengar suara, hati dan keperluan mereka. Saya faham akan kebimbangan mereka memandangkan ADUN yang mereka pilih sudah pun meninggalkan perjuangan dan bertukar kapal. Jadi kita lihat sendiri, izinkan saya, yang kelima ini ialah saya ingin menunjukkan bahawa berlakunya percanggahan dan fakta-fakta yang berputar dan berbelit-belit semasa pembentangan bajet dan merujuk kepada janji Yang Amat Berhormat Menteri Besar melalui manifesto Pakatan Harapan ini, kerajaan negeri ingin menjadi kerajaan negeri yang demokratik sehingga dalam teras bajet salah satunya adalah demokrasi dinamik dan kesaksamaan sosial. Untuk makluman Yang Amat Berhormat, kita tidak akan demokratik dan terbuka jika peranan kami sebagai pembangkang sekadar diiktiraf dengan hanya memiliki bilik Ketua Pembangkang sedangkan dari segi pengimplimentasiannya serta amalannya sangat berbeza dan paranoid. DUN Pemanis terima kasih kerana meminta kami supaya memahami manifesto Pakatan Harapan. Memang kami faham, tol pun dah hapus, minyak pun dah turun, PTPTN pun dah dihapuskan. Memang kami faham. (Dewan bertepuk). Kita lihat sendiri tidak ada titik fokus khusus sewaktu saya pergi ke FELDA Johor Lama kerana titik fokus tidak ada yang khusus untuk komuniti FELDA yang dimasukkan dalam Bajet 2019. Lebih malang, perjumpaan yang memfokuskan kepada keperluan setempat ini dipolitikkan. Pengurus Besar diberi amaran. Saya bacakan dalam whatsapp yang disampaikan kepada saya oleh Setiausaha Politik Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Pengurus Besar kepada Setiausaha Politik Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Saya kesal dengan apa yang berlaku, walaupun telah diberi amaran dan persetujuan awal tidak dijalankan. Selepas ini akan dikeluarkan surat amaran. Ketua Bahagian Kota Tinggi telah dikatakan bahawa saudara Muzaidi telah menzalimi seorang penjawat awam. Meletak pasir di dalam periuk nasi orang lain. Jadi pendirian-pendirian dan sikap-sikap begini kita tidak berjaya menterjemahkan hasrat untuk pendemokrasian di dalam kepimpinan, bukan kita minta pun, itu yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan disokong oleh rakyat sebab itu kita hari ini diiktiraf sebagai pembangkang. Tetapi, nak pergi ke sekolah pun tak boleh, kita tak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Daerah, dulu memang kita tak iktiraf pembangkang dan rakyat bagi mandat kepada kita, sebab itu pembangkang tidak dijemput. Tetapi manifesto Pakatan Harapan mengiktiraf pembangkang. (Dewan bertepuk) Di janji kepada rakyat mengiktiraf pembangkang tetapi peranan pembangkang tak ada. Tidak diberi langsung ruang dan peluang, bukan kami minta pun. Sebab itu adanya elaun kepada pembangkang, adanya pejabat kepada Ketua Pembangkang, kita terima kerana itu janji kerajaan yang ada pada hari ini, jadi jika inilah...

Speaker

Yang Berhormat, kalau tak iktiraf sebagai pembangkang pada waktu itu, habis pembangkang nak jadi apa pada waktu itu?

Dia membangkang ajelah. Sebab itu rakyat hari ini tolak manifesto Barisan Nasional, dan menerima manifesto Pakatan Harapan, laksanakanlah, tetapi tak ada, tak dilaksanakan sepenuhnya, tidak diterjemahkan apa erti pendemokrasian yang sebenarnya. Jadi Yang Berhormat Tuan Speaker, jika inilah keadaannya, apa yang demokratik dan terbuka yang diamalkan oleh kerajaan negeri hari ini? Ini sudah macam boleh dikatakan macam diktator dah, takut orang, kita nak pergi ke sekolah, takut kita dibuang, dipotong elaun dan sebagainya, takut guru besar itu dipecat, kita tak hendak aniayakan orang macam mana yang saya bacakan dalam facebook sebentar tadi. Malah lebih penting saya kini tidak terlibat atau diberi ruang dalam sebarang proses untuk membuat keputusan berkaitan polisi dan juga inisiatif kerajaan. Jadi, saya rasa fungsi saya sebagai ketua pembangkang kini yang ingin menjadi konstruktif dan berkesan

dalam keadaan yang tidak terbuka dan tidak demokratik ini tidak akan tercapai ataupun tidak akan dapat dilaksanakan. Oleh itu, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya dengan ini ingin mengumumkan bahawa saya akan memulangkan semula pejabat bilik Ketua Pembangkang dan elaun saya akan saya serahkan semula kepada kerajaan. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Tuan Speaker, yang akhirnya, tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas penyataan pendirian rasmi kerajaan negeri berhubung dengan isu ICERD, khususnya apabila Yang Amat Berhormat menyokong untuk tidak mengesahkan atau meratifikasikan konvensyen ini. Yang Amat Berhormat janganlah terlalu memfokuskan kepada perhimpunan aman yang akan diadakan pada 8 Disember ini. Itu bukan perkara pokok. Ianya hanyalah perkara kecil sahaja perhimpunan ini. Ianya hanya sekadar gerakan rakyat untuk keluar beramai-ramai untuk menzahirkan pendirian dan pendapatan, pandangan mereka ialah mungkin agaknya tol pun dah dihapuskan, minyak pun dah murah, jadi ramailah yang nak pergi ke Kuala Lumpur ni pada 8 hari bulan ini. (Dewan Ketawa). Mungkin agaknya perhimpunan ICERD yang akan diadakan pada 8 itu hanyalah sebagai satu gambaran tentang apa yang penting kepada orang Melayu. Tidak lebih daripada itu, dan saya merasakan bahawa tidak terdapat di mana-mana pun ianya menyentuh ataupun boleh mencetuskan perkauman, isu-isu yang sensitif, isu-isu yang boleh membangkitkan rasa marah, kerana kita untuk sekian lamanya berada dalam sebuah negara yang aman, makmur,demokrasinya, terpimpin ini, saya yakin dan percaya bahawa perhimpunan ICERD pada 8 Disember ini akan merupakan perhimpunan yang sekadar merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kita kepada pihak kerajaan. Akhir sekali saya memohon maaf dan juga memohon agar segala persoalan yang saya bangkitkan dalam perbahasan kali ini dapat diambil dan dijawab secara bersemuka oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Terima kasih sekali lagi, sekian, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang. Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari.

Persidangan Disambung semula pada jam 2.30 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Saya menjemput YB Kahang.

Salam sejahtera, salam perpaduan, salam muafakat Johor, Yang Berhormat Speaker, terlebih dahulu saya mengucap terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini dan tanpa melengahkan masa pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah pun membentangkan Bajet Pakatan Harapan yang pertama, satu rekod yang baru lebih daripada 3 jam, dan sepanjang 3 jam ini apabila bajet dibentangkan sebenarnya saya seumpamanya berada dalam keadaan di mana kebanyakan isu-isu yang dibangkitkan adalah isu-isu yang pernah kita dengar dahulu. Pernah dibangkitkan dan juga dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun-tahun yang lepas. Sebenarnya, sepanjang 3 jam pembentangan bajet itu, saya tak berani nak pergi ke bilik air pun, kerana takut akan ketinggalan pengumuman-pengumuman yang baru. Inisiatif-inisiatif yang baru, ataupun pengumuman untuk rakyat negeri Johor, benda-benda yang baru. Tetapi akhirnya hampa, kerana kebanyakan benda yang dibangkitkan adalah sebenarnya rebranding ataupun diberi jenama penjenamaan yang baru. Yang Berhormat Speaker, kalau dulu saya ucap tahniah kerana membentangkan satu bajet, surplus bajet tetapi kalau dulu apabila kerajaan Barisan Nasional membentangkan surplusbajet ada pihak akan mengatakan ianya creative accounting. Jadi adakah kali ini ianya juga adalah creative accounting? Dimana surplusbajet telahpun dibentangkan ataupun baru pada hari ini kerajaan Pakatan Harapan sedar bahawa bajet yang dibentangkan ialah bajet surplus dan Johor memang mempunyai kedudukan ataupun memiliki kelebihan untuk mendapat bajet yang surplus seperti tahun-tahun yang lepas, kerana sejak kebelakangan ini negeri Johor sentiasa mendapa surplusbajet, jadi saya rasa pada hari ini jelas menunjukkan bahawa kelebihan yang ada di Johor hasil kerja kuat rakyat Johor sebenarnya apa yang kita mencapai ialah surplus bajet dan bukan creative accounting. Jadi ini jelas membuktikan kepada pihak disebelah sana.

Yang Berhormat Speaker, ada beberapa perkara yang saya ingin bangkitkan di sini, contohnya, isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan modal insan. Kerana, dalam bajet ini, kita sekiranya ingin menjadi sebuah negara yang maju, ingin menjadi theeconomic power house of Malaysia, isu yang paling penting selain daripada menarik pelabur asing, mendapat pendapatan yang berlebihan, kita juga kena pastikan bahawa kita mempunyai tenaga kerja yang mahir untuk menyahut cabaran-cabaran yang kita akan tempuhi. Tetapi dalam bajet yang dibentangkan ada isu-isu yang berkaitan dengan modal insan yang telahpun dibangkitkan dan sebenarnya kalau kita lihat saya amat kecewa kerana penekanan untuk aspek pembangunan modal insan adalah amat lemah dan tidak relevan dalam mengambil kira keperluan bakat serta modal insan yang kompetitif pada hari ini. Yang Berhormat Speaker, terlalu banyak perkara-perkara yang dibangkitkan adalah seperti copy and paste ataupun cut and paste dan adakah kerajaan pada hari ini tiada idea yang lebih segar untuk dibawa kepada rakyat ataupun sememangnya inisiatif-inisiatif yang sebenarnya telahpun diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bersifat evergreen dan amat praktikal. Contohnya kalau kita lihat benda-benda yang dibangkitkan seperti Biasiswa Kenangan Dato’ Onn, Tuisyen SPM, Tuisyene-Learning, Pembangunan Karakter Murid Johor, Tabung Latihan Kemahiran Johor dan Program Transformasi Minda Insan adalah perkara-perkara yang sentiasa disebut dan dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Selain itu, terlalu banyak inisiatif yang sama yang telahpun dibangkitkan tetapi hanya disalin kulit dan diberi nama yang berbeza. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa kerajaan hari ini tidak bersungguh-sungguh untuk mendalami isu-isu modal insan yang amat berkait rapat dengan hati sanubari bangsa Johor. Antara perkara yang saya ingin bangkitkan di sini ialah, penjenamaan Unit Swadaya Insan kepada Unit Strategik Modal Insan. Saya tidak faham kenapa perlunya ada penjenamaan semula daripada Unit Swadaya Insan kepada Strategik Modal Insan tanpa melaksanakan usaha bagi memastikan bahawa unit ini dapat berfungsi dengan lebih berkesan. Inisiatif dan peranan unit ini semakin hari semakin hilang daripada perhatian rakyat. Sedangkan pada awal penubuhannya begitu banyak mendatangkan faedah kepada bangsa Johor. Hala tuju unit ini semakin tidak jelas dan kerajaan pada hari ini tidak memperkasakan unit ini dari segi fungsi, peranan dan tugas pegawai. Yang paling penting bagi unit swadaya insan ialah bukan penjenamaan semula tetapi kita kena pastikan kita mempunyai tenaga kerja yang cukup dalam unit ini. Kerana peranan dan tanggungjawab unit ini cukup besar, jadi kerajaan pertama sekali kena pastikan sama ada tenaga kerja yang ada dalam unit ini mencukupi ataupun tidak.

Yang kedua, bajet yang disalurkan kepada unit ini mencukupi ataupun tidak? Itulah perkara yang paling penting. Apakah peranan dan tanggungjawab unit ini sebenarnya yang harus diambil kira dan bukan penjenamaan semula kepada unit ini. Kerana kita tahu peranan, tanggungjawab Unit Swadaya Insan ini cukup besar dan ia memerlukan tenaga kerja yang lebih ramai, tenaga kerja yang mahir dan tenaga kerja yang mempunyai latar belakang kepada pembangunan sumber manusia dan latihan kemahiran.

Yang Berhormat Speaker, menjenama program pembangunan kemahiran, perkara yang kedua kepada reskilling dan upskilling.

Yang Berhormat Speaker, perkara ini sebenarnya menampak betapa kaburnya kerajaan pada hari ini dalam pengetahuan dari aspek pembangunan kemahiran. Reskill dan upskill bukanlah keseluruhan skop di dalam pembangunan kemahiran. Ia hanyalah elemen kecil yang menjadi salah satu pendekatan untuk mekanisme latihan. Jadi, bagaimana mungkin kerajaan hari ini tergamak menyamakan reskill dan upskill dengan pembangunan kemahiran Johor secara keseluruhan. Ini sudah tentu memberi kebimbangan kepada rakyat kerana permintaan untuk tenaga kerja yang mahir pada hari ini amat tinggi. Suka juga untuk diingatkan kerajaan Barisan Nasional pada penggal lepas, telah membangunkan Pelan Induk Pembangunan Kemahiran Negeri Johor. Pelan Induk Pembangunan Kemahiran Negeri Johor, di mana kalau kita lihat jika usaha dan inisiatif dalam pelan itu sekiranya diteruskan, kita akan dapat mencapai objektif dan KPI kepada latihan pembangunan kemahiran kerana ia adalah semuanya cukup, complete dengan izin, dalam pelan tersebut.

Manakala kita lihat Pelan Induk Negeri Johor telah dibangunkan lebih awal daripada Pelan Induk TVET Malaysia pada masa tersebut. Jadi, negeri Johor menjadi negeri yang paling awal sekali untuk mempunyai pelan kemahiran seperti ini, sebelum kerajaan pusat memperkenalkan latihan Pelan Induk TVET pada ketika itu. Jadi, yang paling penting sekali ialah, bukan sahaja memberi fokus kepada reskill dan upskill dan juga menukar nama tetapi latihan kemahiran secara menyeluruh. Dan, kerajaan akan menyalurkan RM1.5 juta untuk reskill dan dinyatakan tujuh sektor akan diberi tumpuan.

Jadi, apakah tujuh sektor tersebut yang akan diberi tumpuan? Dan, kita kena pastikan setiap sektor yang diberi tumpuan ini akan memberi peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyat negeri Johor. Tidak guna memberi fokus kepada satu sektor apabila seseorang mendapat latihan dalam bidang tersebut dan menamatkan pengajian tetapi tidak ada peluang pekerjaan di negeri Johor dan terpaksa berhijrah ke Singapura ataupun ke negeri-negeri yang lain.

Yang Berhormat Speaker, dalam bajet ini juga kalau kita lihat tidak ada perhatian khusus diberikan tentang isu kebanjiran pekerja asing dan isu terlalu ramai pekerja ataupun pendatang asing di negeri Johor. Kerajaan sebelum ini, iaitu kerajaan Barisan Nasional sebenarnya telah menubuhkan satu task force pekerja asing yang dipengerusikan oleh Yang Amat Menteri Besar sendiri dan saya ingin tahu adakah task force itu masih lagi berperanan dan adakah Yang Amat Menteri Besar sendiri yang mempengerusikan task force tersebut dan apakah peranan dan tanggungjawab tersebut pada hari ini? Kerana sedikit pun tidak menyentuh mengenai isu pekerja asing dalam bajet ini, dan apakah inisiatif dan usaha yang akan diambil untuk memastikan Johor dapat mengurangkan kebanjiran pekerja asing dan kebergantungan kepada pekerja asing. Kerana kalau kita lihat pada bajet 2019, kerajaan sebenarnya tidak, bukan sahaja membangkitkan isu ini, tetapi sebelum ini kerajaan Barisan Nasional pernah menjalankan kajian keperluan pekerja asing di negeri Johor dan kajian itu juga sudah ada di Unit Swadaya Insan dan sekiranya ianya diperhalusi oleh kerajaan yang pada hari ini, saya percaya banyak isu-isu yang berkaitan dengan pekerja asing akan dapat diselesaikan.

Seperkara lagi yang berkaitan modal insan ialah Bajet 2009 menampakkan bahawa aspek modal insan hanya ditangani secara celam-celum tanpa memikirkan secara holistik pendekatan dan pelan tindakan di dalam membangunkan modal insan di Johor. Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada pelan rasionalisasi buruh yang telah dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional dan adakah panduan holistik dalam memastikan kerajaan membantu bangsa Johor dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi akan diberi fokus oleh kerajaan pada hari ini. Kalau kita lihat setiap kajian telah pun dilaksanakan sebelum ini. Jadi, kajian ini janganlah kita lihat dalam konteks politik sahaja, walaupun kajian ini dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu, tetapi ianya adalah milik kerajaan Johor. Jadi, kerajaan yang sebenarnya yang mewarisi tampuk kepimpinan boleh menggunakan kajian-kajian ini untuk membuat dasar-dasar baru berkaitan dengan sumber manusia dan juga pembangunan modal insan di negeri Johor.

Yang Berhormat Speaker, saya ingin ucap terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana saya percaya, seolah-olah masyarakat India telah pun dikecewakan. Kerana dalam bajet yang dibentangkan pada kali ini, peruntukan yang diberi hanyalah RM3 juta. Dan ada wakil-wakil rakyat di sebelah sana mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana prihatin untuk memberi peruntukan kepada masyarakat kaum Cina, kaum Tionghoa dan juga masyarakat India. Saya ingin mengingatkan semula pada tahun 2016 kita diberikan peruntukan RM4 juta oleh kerajaan Barisan Nasional. Pada tahun 2017, peruntukan sebanyak RM6 juta untuk masyarakat India oleh kerajaan Barisan Nasional. Pada tahun 2018 pembentangan bajet, bajet sebanyak RM8 juta telah pun diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk masyarakat India (Dewan bertepuk). Tetapi kali ini hampa. Mana perginya RM5 juta lagi? Sudah dikurangkan RM5 juta. Kalau dulu, untuk pembangunan usahawan RM2.5 juta, untuk kebajikan RM2.5 juta, untuk pendidikan RM1.5 juta, pembangunan sekolah Tamil RM1.5 juta, tetapi kali ini untuk keusahawanan hanyalah RM500,000.00, kebajikan RM1 juta dan pembangunan sekolah Tamil RM1.5 juta sahaja. Jadi ini bukanlah sesuatu yang harus digembirakan dan dibanggakan. Masyarakat India telah menyokong kerajaan Pakatan Harapan, dengan harapan bahawa pembelaan yang sewajarnya akan diberikan kepada masyarakat India ketika kempen pilihan raya, calon-calon Pakatan Harapan bukan main syok berjumpa dengan masyarakat India, memberi janji yang macam-macam janji. Sampai bila ada program-program naik pentas menari mengikut rentak lagu Tamil masyarakat India (Dewan bertepuk). Panggil diri mereka Sivaji The Boss kononnya. Tetapi pada hari ini secara realitinya kenapa peruntukan masyarakat India telah pun dikurangkan dengan begitu mendadak sekali? Sepatutnya melebih daripada yang diberi oleh Barisan Nasional. Tetapi hanyalah diberi RM8 juta daripada RM8 juta turun kepada RM5 juta. Jadi, apakah inisiatif ataupun usaha yang akan diambil untuk memperkasakan masyarakat India? Jadi jelas menunjukkan masyarakat India tertipu oleh kerajaan Pakatan Harapan (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin maklumkan di sini, selain RM8 juta, RM1.5 juta lagi diberikan untuk tabung latihan kemahiran masyarakat India. Satu lagi RM1.5 juta, maknanya keseluruhannya RM9.5 juta. Tetapi pada pembentangan bajet kali ini, apa yang diberikan dalam tabung latihan kemahiran hanyalah RM700,000.00 sahaja. Dulu untuk tabung latihan kemahiran, kerajaan Barisan Nasional Bajet 2018 diperuntukkan RM5 juta, RM1.5 juta untuk belia India, RM2 juta

untuk awam, RM1.5 juta lagi untuk belia FELDA. Tetapi dalam Bajet 2019 Pakatan Harapan, perkataan FELDA jarang sekali kita dengar di dalam bajet ini (Dewan bertepuk). Sedikit pun tidak ada untuk pembelaan untuk warga-warga FELDA. Jadi mana pergi? Apakah yang akan dilakukan untuk memperkasakan golongan belia dalam masyarakat kita? Masyarakat India dipinggirkan, warga FELDA pun dipinggirkan. Adakah kerana warga FELDA tidak menyokong atau pun kebanyakan Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional menang di kawasan FELDA, maka FELDA dipinggirkan dalam Bajet 2019 ini. Kalau FELDA dipinggirkan, kenapa pula masyarakat India dipinggirkan? Sedangkan masyarakat India menyokong Pakatan Harapan. Ramai wakil-wakil rakyat menang di sini kerana sokongan masyarakat India. Jadi, masyarakat India harus diberi pembelaan yang sewajarnya. Begitu juga dengan peluang-peluang pekerjaan dalam Bajet 2018, telah pun dinyatakan setiap PBT akan memberi peluang, 5 peluang pekerjaan kepada masyarakat India, 16 PBT kali 5, 80 peluang pekerjaan kepada masyarakat India. Jelas menunjukkan 80 keluarga India akan mendapat pendapatan, tetapi dalam bajet ini sedikit pun tidak menyatakan mengenai peluang pekerjaan kepada masyarakat India.

Jadi, apakah pembelaan yang akan diberikan kepada masyarakat India? Jangan hanya beri janji-janji ketika pilihan raya, itu tidak mencukupi. Jangan hanya memberi kenyataan-kenyataan di peringkat nasional sahaja, itu tidak mencukupi. Saya sebenarnya bersimpati dengan rakan saya, EXCO yang menjaga hal ehwal masyarakat India ini, kerana saya tahu bukan mudah untuk menjadi seorang EXCO untuk menjaga keseluruhan masyarakat India di negeri Johor. Bukan mudah. Saya bukan mengkritik dia pada hari ini, tetapi dasar kerajaan pada hari ini. Kerana saya pernah berada di tempat tersebut, bukan mudah. Tetapi kerana kerajaan Barisan Nasional prihatin, mendengar, mendengar apa yang diinginkan oleh masyarakat India, (Dewan bertepuk) kerajaan Barisan Nasional memberikan peruntukan-peruntukan untuk menaik taraf, untuk program-program intervensi, untuk program-program, untuk memastikan masyarakat India juga tidak ketinggalan dibandingkan dengan kaum-kaum lain di negeri Johor ini. Jadi perkara-perkara ini harus diambil kira, saya juga mencadangkan kerajaan baru sekiranya Barisan Nasional masih lagi berkuasa, satu lagi inisiatif yang akan kita laksanakan ialah penubuhan Unit Hal Ehwal Khas Masyarakat India di negeri Johor. Kita hampir-hampir mencapai realitinya. Unit Hal Ehwal Khas Masyarakat India menerusi unit ini, ia akan memudahkan sebagai One Stop Center untuk menyelesaikan semua isu-isu masyarakat India. Dari segi peruntukan, dari segi pegawai-pegawai, dari segi isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat India, hak milik tanah, hak milik kuil dan sebagainya. Menerusi unit ini, banyak perkara-perkara yang dapat diselesaikan. Jadi saya berharap Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan melihat balik kepada satu unit ditubuhkan di bawah Pejabat Menteri Besar, Unit Hal Ehwal Khas Masyarakat India yang boleh di ketuai oleh EXCO yang menjaga masyarakat India sebenarnya. Yang Berhormat Speaker,

Timbalan Speaker

YB Kahang, sila gulung.

Cepatnya. Ok Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin membangkitkan beberapa isu kawasan saya sedangkan masa tidak mengizinkan, pertama sekali ialah rumah generasi kedua FELDA di kawasan Kahang, 550 unit rumah telah pun dilancarkan dan juga pemiliknya juga telah pun dikenal pasti, lepas itu sampai pula pilihan raya, projeknya tidak berjalan sehingga hari ini. Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan kerajaan yang prihatin, yang menjaga kepentingan semua masyarakat, dan juga sekiranya agenda perumahan agenda yang penting, yang akan diberi fokus oleh kerajaan, maknanya perumahan, isu-isu perumahan seperti ini mesti diselesaikan. Isu perumahan generasi kedua FELDA, mesti diselesaikan begitu juga dengan status pembinaan rumah di FELCRA Sungai Sepuluh kawasan Paloh, mesti diselesaikan pembinaan perumahan di CEP Niyur Paloh, di mana tapak telah pun, pecah tanah telah disempurnakan, mesti disempurnakan, begitu juga dengan status bekalan air bersih kampung Orang Asli Air Pasir dan Sungai Peroh, mesti diselesaikan status bekalan elektrik di kampung Orang Asli Berasau walaupun sudah ke peringkat terakhir, selepas pilihan raya belum ada maklum balas daripada pihak-pihak yang berkenaan. Saya harap, ia juga akan diselesaikan pemasangan lampu jalan di persimpangan jalan masuk FELDA Ulu Pengeli, FELDA Bukit Tongkat, FELDA Ulu Belitong dan juga jalan ke Renggam. Kalau boleh minta ditambah, begitu juga dengan melebarkan jalan di hadapan FELDA Kahang Barat, dan juga saya ingin tahu status permohonan TOL di Kampung Haji Jaafar, Paloh yang masih lagi belum ada maklum balas, status tapak Kampung Seri Lukut di Kahang, masih lagi belum ada maklum balas, begitu juga dengan isu dewan terbuka masyarakat India di Taman Seri Kota Paloh, di mana kerajaan negeri sebelum pilihan raya telah memberikan peruntukan sebanyak RM150,000. Ahli Parlimen Sembrong, telah memberi peruntukan RM100,000, Majlis Perbandaran Kluang memberi peruntukan RM50,000 dan lebih kurang 80% pembinaan dewan telah pun disiapkan, tetapi selepas pilihan raya, belum ada lagi apa-apa tindakan diambil. Jadi, saya harap dewan itu dapat diselesaikan

dan diserahkan kepada satu NGO India kerana dewan ini dibina khas atas permintaan masyarakat India di kawasan Paloh.

Begitu juga dengan hak milik. Permohonan hak milik tanah Kuil Sri Mahamariman, Jementah. Di mana Borang 5A telah pun dikeluarkan pada tahun 2014, dan premium pun telah dibayar pada tahun 2014, tetapi sehingga hari ini, belum ada lagi hak milik yang diserahkan kepada pihak kuil. Dan juga status kuil Sri Mahariaman Taman Sri Lambak, Kluang. Kerana tapak telah pun dikenal pasti, dan selepas pilihan raya belum ada tindakan-tindakan susulan, saya harap begitu juga akan diselesaikan...

Timbalan Speaker

YB Kahang.

akan diselesaikan. Dan akhir sekali saya juga berharap supaya...

Timbalan Speaker

Dah tamat. Masa sudah tamat.

Yang Berhormat Speaker, jabatan-jabatan yang kritikal di peringkat kerajaan negeri, seperti UPEN dan juga SUK adakah mempunyai tenaga kerja yang mencukupi? Kerana unit-unit ini memerlukan, memang lambakan kerja yang begitu banyak kepada unit-unit ini. Jadi kita kena pastikan, kerajaan negeri kena pastikan selain daripada penjenamaan semula buat rebranding, buat cut and paste, nak buat apa-apa pun, pastikan supaya unit-unit ini mempunyai tenaga kerja yang mencukupi, supaya kerja yang diberikan kepada unit ini dapat berjalan dengan benar, betul dan juga licin. Dan akhir sekali, saya juga ingin nak tahu banyak sangat titik sentuhan dalam bajet ini...

Timbalan Speaker

YB masa sudah tak ada.

200 lebih titik fokus, jadi unit mana yang akan memantau setiap titik fokus ini untuk memastikan apa yang telah pun dinyatakan dalam bajet ini akan terjemahkan dalam bentuk program dan aktiviti supaya impak bajet ini akan sampai ke rakyat di peringkat akar umbi. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih kepada YB Kahang. Seterusnya saya menjemput YB Senggarang.

Tuan Ir. Khairuddin bin A. RahimAMANAH · PHSenggarang

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Yang Berhormat Puan Speaker, bersempena dengan sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang ke-60 pada 22 November lalu, patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa supaya Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada dalam keadaan siha rakyat dengan adil dan saksama, mudah-mudahan dengan berkat kepimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, negeri Johor akan terus maju, moden dan progresif dengan rakyat bangsa Johor yang bersatu padu. Daulat Tuanku.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin melahirkan rasa positif terhadap Belanjawan Negeri Johor 2019 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian pada 29 November 2018 yang lalu. Selain daripada itu, pencapaian kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang berjaya menyelesaikan hutang terhadap kerajaan persekutuan perlu dipuji. Ia adalah salah satu petanda aras yang baik setelah lebih 180 hari memerintah negeri ini. Namun, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang perlu diperhalusi oleh pihak kerajaan agar pentadbiran ini dapat berjalan dengan lebih lancar lagi pada masa yang akan datang.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam menangani pelbagai masalah sosial masyarakat, kita juga perlu melihat berkenaan dengan struktur alam sekitar. Dalam pemantauan serta penelitian saya, adalah menjadi faktor penting untuk dipertimbangkan soal alam sekitar yang kian dimamah dengan kerakusan di negeri ini. Perlombongan, pecah batu, tahap kesedaran, pembalakan, pelupusan ekosistem alam, pencemaran air mentah dan banjir yang berlaku adalah faktor utama perkara ini penting untuk dinilai semula.

Yang Berhormat Puan Speaker, Belanjawan 2019 Negeri Johor yang dibentangkan, tidak secara spesifik menitik soal yang disebutkan. Terdapat perlombongan haram yang berjaya dikesan oleh

pihak kami dan ia selain mencemarkan alam sekitar sehingga merubah ekosistem alam, terdapat juga kerugian di pihak kerajaan kerana operasi yang mereka lakukan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Sekiranya ia beroperasi secara haram, maka hasil yang mampan tidak akan diperolehi oleh pihak kerajaan dari segi sewaan dan pembayaran hasil bumi kepada pihak kerajaan. Malah sekiranya berlaku sebarang permasalahan seperti bencana alam dan sebaliknya pihak kerajaan yang terpaksa menanggung kos kerugian tersebut. Faktor ini penting untuk pihak kerajaan mengadakan penilaian, untuk mewujudkan suatu task force yang memantau akan perkara ini tanpa sebarang kompromi jalan belakang.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya turut mencadangkan untuk menambahkan lagi kakitangan seperti mana yang saya nyatakan di penggal yang lalu, menambahkan lagi kakitangan penguat kuasa yang akan memantau sebarang kegiatan perlombongan ini atau apa-apa faktor yang merosakkan alam sekitar. Setakat ini, menurut rekod saya yang saya baca hanya seramai bawah 100 orang lebih, 100 orang penguat kuasa sahaja untuk seluruh negeri Johor. Ini tidak mampu untuk memberikan impak pemantauan yang baik sedangkan untuk kuari batu sahaja di Johor terdapat 110 kuari yang dikesan. Belum lagi kuari-kuari yang lain. Perkara ini jelas di lihat tempang dan perlu diperbaiki dalam kadar yang segera.

Yang Berhormat Puan Speaker, pemuliharaan alam sekitar ini boleh diselenggarakan dengan mendesak pihak pelombong untuk membayar sebarang ganti rugi di atas perlanggaran prosedur yang berlaku. Pemuliharaan alam sekitar juga perlu dilakukan. Yang Berhormat Puan Speaker, hari ini kita telah mendengar beberapa isu berkenaan dengan tahap kualiti air yang sememangnya kronik ibarat kata salah seorang nelayan untuk mengetahui tahap kualiti air mentah, pandanglah kepada hasil nelayan. Memang perkara itu telah menjadi jelas apabila terdapat penyusutan hasil nelayan sungai atau air tawar yang hari ini mulai mengeluh akibat kualiti air yang teruk. Sebelum ini saya telah mencadangkan agar pihak kerajaan memikirkan untuk mendapatkan air mentah dengan mencari sumber tersebut di kawasan-kawasan yang ditentukan melalui mata air, air bawah tanah seperti yang dilakukan di negara maju seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah namun masih tidak ada sebarang jawapan. Hari ini, Simpang Renggam, Kota Tinggi, Pengerang, Johor Bahru, Pasir Gudang dan beberapa daerah di negeri ini yang mengalami permasalahan terputus air sehingga mengakibatkan kerugian kepada peniaga serta pengusaha yang memerlukan air sebagai sumber utama mereka.

Yang Berhormat Puan Speaker, tahap kualiti air ini sangat penting kerana dalam kajian kami kos untuk penyelenggaraan air akan meningkat kerana pemprosesannya akan meningkat kepada dua hingga tiga kali ganda. Selain itu, kandungan ammonia juga adalah peranan penting yang membuatkan operasi pemprosesan air itu tidak dapat dijalankan. Maklum kita tahu harga air di Johor direkodkan sebagai antara yang tertinggi di negara. Ini bukanlah disebabkan kesusahan untuk mencari sumber air tetapi ia disebabkan kos operasi yang terpaksa dilakukan itu memakan kos yang terlalu tinggi. Perkara itu menjadi bualan orang awam atau rakyat di negeri ini yang mempertikaikan soal kos berkenaan yang dikenakan kepada mereka.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya mencadangkan agar penilaian semula berkenaan belanjawan terhadap kualiti air ini perlu diadakan. Perbincangan, kajian, penelitian dan pelaksanaan bolehlah dilakukan sebelum ia merebak dari kronik kepada parah, kepupusan air mentah yang bersih.

Yang Berhormat Puan Speaker, selain memikirkan tentang pendidikan akhlak, taraf kehidupan sosial juga perlu dipertambah tingkatkan. Di sini saya mencadangkan di Dewan yang mulia ini untuk memikirkan soal nasib nelayan sungai mahupun laut. Dalam tinjauan yang saya amati, terdapat nelayan yang masih lagi tidak mampu untuk menyara hidup mereka. Ada di antara mereka yang tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah. Selain itu, terdapat nelayan yang terpaksa mengambil minyak bersubsidi jauh dari tempat atau jeti mereka. Bagi para nelayan, hal itu amat menyusahkan mereka dan dari kiraan mereka lebih beruntung mereka untuk mengambil minyak dari stesen yang berdekatan dari mengambil stesen lantikan bersubsidi. Ini menjadi suatu perkara yang perlu diambil berat oleh pihak kerajaan untuk merombak semula perkara ini agar minyak bersubsidi berkenaan dapat sampai kepada pihak nelayan. Dalam pada masa yang sama, infrastruktur seperti jeti yang usang dan bengkel servis enjin bot yang tidak dibina adalah menjadi suatu kepentingan bagi nelayan. Dalam hal yang berbangkit lain, pihak kerajaan boleh memikirkan untuk mempertingkatkan serta mengkaji berkenaan dengan tukun tiruan yang sudah tidak lagi berfungsi dengan baik hari ini. Belanjawan ini perlu memikirkan berkenaan dengan perkara tersebut agar belanjawan ini menyeluruh serta dapat dirasai oleh semua rakyat.

Yang Berhormat Puan Speaker, Belanjawan 2019 telah menggariskan beberapa faktor tentang pembangunan berkenaan hasil tanaman petani. Namun, kerajaan juga perlu penelitian yang lebih khusus terhadap permasalahan yang dialami petani. Permasalahan seperti tambatan banjir yang merosakkan tanaman juga menjadi isu utama bagi petani. Selain itu, makhluk perosak seperti hidupan liar juga memainkan peranan penting untuk dinilai oleh pihak kerajaan. Sesi dialog yang diadakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Sungai Ayam, Batu Pahat, luahan dari petani adalah lambakan hasil buah kelapa yang tidak terjual. Hal ini kerana pengeluaran AP yang tidak terbendung telah membuatkan lambakan buah kelapa dari luar negara seperti Indonesia dan Thailand selain negara sekitar lain yang harganya jauh lebih murah dari kelapa tempatan yang telah menjadi permasalahan yang membebankan petani.

Yang Berhormat Puan Speaker, di Dewan yang mulia, semakan terhadap Skim Johor Barat juga perlu diteliti semula. Skim ini telah berlangsung lebih daripada 30 tahun dan telah dikesan saluran parit serta sungai yang dibina hari ini telah tidak mampu menampung keadaan di sekitar kawasan petani yang bercucuk tanam dalam Skim Johor Barat tersebut. Saya mencadangkan agar pihak kerajaan negeri mempertimbangkan Belanjawan 2019 untuk membantu golongan petani yang mengalami masalah seperti di atas.

Yang Berhormat Puan Speaker, kita akui hari ini, negara ingin memacu ke arah negara maju selari dengan kehendak global dalam soal IT dan AI, dengan izin, artificial intelligent melalui industri Revolution 4.0, namun dalam ke arah itu kita dapati terdapat kawasan-kawasan pedalaman yang masih lagi terputus hubungan dengan dunia di sebelah bandar. Peningkatan seperti taraf infrastruktur seperti perkhidmatan liputan Internet perlu diambil kira. Kawasan-kawasan pedalaman di Johor seperti yang kita akui masih ada lagi tidak mempunyai liputan Internet yang baik. Capaian Internet ini penting kerana kita telah menghala kepada sistem maklumat membangun yang paper less seperti yang dilakukan negara maju, Eropah dan beberapa negara Asia maju yang lain. Saya juga mencadangkan agar pembangunan ini dibuat secara keperluan di kawasan pedalaman berkenaan terlebih dahulu.

Selain itu, taraf kehidupan masyarakat Orang Asli perlu diambil berat oleh pihak kerajaan. Ia melibatkan kawasan-kawasan pemburuan mereka yang menjadi hasil pendapatan mereka selama ini. Selain itu, semakan terhadap pembangunan di sekitar sungai dan laut tempat pencarian hasil mereka perlu dititikberatkan. Contohnya, apa akan jadi pada Orang Asli Sungai Sayong Pinang yang kini berhadapan dengan permasalahan mendapatkan hasil tangkapan mereka yang jauh jatuh kerana pencemaran sungai. Selain itu, Orang Asli di sekitar Johor Bahru juga turut berhadapan dengan permasalahan pembangunan yang menjejaskan serta merosakkan kediaman mereka selain mengganggu hasil pendapatan mereka seperti di Sungai Temun. Perkara ini sama turut berlaku di Sungai Pulai di mana terdapat Orang Asli yang mengadu berkenaan dengan tanah adat perkuburan mereka yang dibangunkan oleh pihak kerajaan sehingga membuatkan hari ini menjadi gelisah untuk mencari kawasan baharu bagi tanah adat mereka.

Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan perlu prihatin dalam menilai soal permasalahan golongan pedalaman dan Orang Asli terutamanya nasib pendidikan anak-anak mereka. Pembinaan akhlak serta pencapaian akademik perlu dipertingkatkan sehingga mencapai tahap yang berkualiti. Saya turut menyarankan agar segala kemahiran dari Orang Asli ini dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam silibus universiti Johor bagi dikomersialkan atau di naik taraf yang lebih jauh.

Yang Berhormat Puan Speaker, pelancongan merupakan faktor penting bagi kerajaan negeri mendapatkan hasil. Di sini selain RM7.2 juta yang diperuntukkan kepada aktiviti pelancongan, saya juga turut menggalakkan agar pihak kerajaan untuk menubuhkan task force untuk mencari tempat-tempat baru yang lebih potensi. Seperti yang diketahui, negeri Johor mempunyai pelbagai tapak-tapak sejarah kerana bumi Johor ini pernah dicatatkan dalam sejarah sebuah kerajaan yang dikenali serta digeruni dunia suatu ketika dulu. Saya menyarankan agar task force berkenaan mengadakan hubungan dengan orang awam atau NGO yang mempunyai pengalaman, pengetahuan serta ilmu dalam bidang sejarah bagi mendapatkan maklumat. Dengan itu, tempat-tempat berkenaan dapat dimajukan dan dijaga untuk menarik perhatian pelancong ke negeri ini. Selain itu, dalam pemerhatian saya di Johor, terdapat beberapa unsur tarikan pelancong, seperti penemuan ikan yang satu-satunya dalam dunia yang dikenali dalam nama saintifiknya betta persephone yang ada di hutan Ayer Hitam Utara daerah Pagoh. Ikan ini ditemui oleh orang tempatan. Dan jika kita lihat di portal wikipedia kita akan temui maklumatnya yang mana ia mengesahkan bahawa ikan itu hanya ada di Pagoh, Johor. Inisiatif ini perlu diambil berat oleh sektor pelancongan supaya ia dapat menarik perhatian orang luar untuk berkunjung ke negeri ini. Di Afrika Selatan PERHILITAN mereka sentiasa menjaga kawasan

safari dengan bertujuan untuk menarik perhatian pelancong. Bayangkan di negara yang kita ketahui tahap kemiskinan mereka pun masih memikirkan soal peri pentingnya penjagaan terhadap haiwan dan hidupan liar kerana mereka tahu ia mendatangkan keuntungan yang lumayan kepada negara mereka.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam pada masa yang sama, soal kebudayaan perlu juga dipertingkatkan selain makanan yang kita ketahui sebelum ini telah dikuasai oleh negeri Pulau Pinang dan sejarah telah didahului oleh Melaka. Kebudayaan juga merupakan suatu tarikan dari pelancong. Setakat hari ini, masih tidak ada negeri yang memfokuskan kepada kebudayaan. Saya mencadangkan agar Johor menjadi hab kepada kebudayaan dengan memeriahkan seni budaya Melayu, Cina, India, Sikh, Orang Asli dan peribumi yang lain. Dari segi budaya Melayu pun kita lihat terdapat budaya yang banyak seperti zapin, keroncong, nobat, puisi, syair dan sebagainya. Pembabitan ini boleh dilakukan dengan gabungan di antara Jawatankuasa Budaya Dan Pelancongan serta pembabitan NGO seni budaya atau Dewan Bahasa dan Pustaka.

Timbalan Speaker

YB Senggarang sila gulung.

Tuan Ir. Khairuddin bin A. RahimAMANAH · PHSenggarang

Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum saya menutup perbahasan saya pada petang ini, saya amat kagum dengan Yang Berhormat Benut yang ingin memulangkan elaunnya dan juga memulangkan pejabat Ketua Pembangkang. Saya rasa perjuangan itu perlu diteruskan dengan memulangkan RM50,000.00 yang ditawarkan oleh kerajaan kepada setiap ADUN Pembangkang. Itu betul-betul berjuang. (Dewan Bertepuk). Kena pulang semualah kan. Cadangan saya lah. Sebenarnya kita patut bersyukur kerana kerajaan dah berikan peruntukan itu kita terima lah dengan hati yang terbuka untuk kebaikan rakyat.

Yang Berhormat Puan Speaker, tadi ada menyatakan bahawa zaman sekarang minyak tak turun katanya, tak turun, tetapi untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia, pada masa ini harga minyak stabil tak naik tak turun. Zaman sebelum ini, naik naik saja, naik naik saja. Sebab itu kita bersyukur, zaman Pakatan Harapan ini minyak kita stabil dan dalam keadaan yang lebih rendah daripada zaman kerajaan yang lama. Kita kena berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Yang Berhormat Puan Speaker, maka dengan itu saya berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan yang dilontarkan dalam perbahasan saya ini. Selain itu bagi menjimatkan belanja kerajaan negeri, saya mencadangkan buat kali terakhir dalam perbahasan ini, akan menggunakan sepenuhnya infrastruktur yang ada seperti dewan serba guna dan masyarakat untuk mengadakan pelbagai aktiviti termasuk mesyuarat di peringkat daerah ataupun di peringkat negeri. Pandangan saya, dalam masa sekarang ini, tidak perlu untuk mewujudkan pusat pentadbiran yang baru bagi daerah-daerah. Saranan saya pusat pentadbiran yang sedia ada itu seperti di Mersing perlu digunakan sepenuhnya atau selenggara dengan lebih baik. Bukan dengan membina pusat pentadbiran yang baru. Sekian, perbahasan saya pada petang ini, saya sudahi dengan wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih kepada YB Senggarang. Saya ingin menarik perhatian dari Yang Berhormat dalam Dewan ini, semua YB diberi masa 20 minit untuk berbahas. Harap semua YB dapat menamat perbahasan dalam masa yang ditetapkan. Seterusnya saya menjemput YB Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Yang Berhormat Puan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberi peluang untuk membahaskan Belanjawan Johor. Pertama-tamanya saya ingin memulakan dengan satu sajak Cina yang sudah seribu tahun. “Tertanya mengapa air sungai begitu jernih, sebabnya ada sumber air yang baru.” Maksudnya, kita selalu kena terbuka dengan cara yang baru, idea yang baru, teknologi yang baru dan kita haruslah perlu belajar dan kita memerlukan pembaharuan dalam institusi, cara kerja, mindset dan sebagainya. Salah satu contoh ialah, pertukaran kerajaan yang baru, sumber yang baru. Saya harap kerajaan baru ini boleh membawa idea yang baru. Cara yang baru malahan mungkin prosedur yang baru supaya membawa kebaikan kepada rakyat.

Sejajar dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030, ke arah Johor sebagai negeri berprestasi tinggi, bangsa Johor bestari, teras strategi belanjawan Johor keenam iaitu, urus tadbir, cekap, berintegriti dan demokratik boleh dianggap sebagai tapak untuk segala teras yang lain. Sama juga especially dalam dunia korporat support for change, menyokong perubahan selalu menjadi satu KPI yang paling penting sekali. Usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk memulakan kerja-

kerja audit syarikat-syarikat kaitan kerajaan negeri, GLC adalah sangat memberangsangkan. GLC termasuk Johor Corp. yang mempunyai hutang setinggi RM2.6 bilion dan kos pinjaman tahunan sebanyak RM98.56 juta untuk membiayai penstrukturan.

Kerajaan Johor memiliki banyak GLC. Salah satu ialah Johor Corp. Johor Corp. mempunyai anak syarikat sebanyak 322 buah syarikat. Selain daripada kerja-kerja audit kedudukan kewangan mereka, kita patut juga meningkatkan kualiti laporan kewangan agar laporan-laporan yang dibuat berintegriti. Ingin saya cadangkan bahawa semua syarikat GLC haruslah mematuhi IFRS, International Financial Reporting Standard yang paling baru. Mengapa ini penting? Contohnya, kalau kerajaan persekutuan yang dahulu, kalau ikut IFRS yang paling baru, paling update, jadi hutang negara akan ditunjukkan sebagai hampir kepada RM1 trilion bukan lagi RM686.6 bilion . ia akan terdedah bawah IFRS yang paling baru. Demi menolong usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar, memastikan prestasi GLC, saya juga menyeru supaya kerajaan mempertimbangkan penubuhan satu jawatankuasa khas untuk audit pengurusan dan memantau prestasi GLC. Termasuk agensi-agensi kerajaan, badan berkanun dan anak syarikat supaya memberikan kuasa untuk audit operasi, prestasi dan pengurusan kewangan GLC negeri Johor. Sebagai contoh, jawatankuasa pilihan khas agensi badan berkanun dan anak syarikat atau JPABAS yang telah ditubuh di Selangor. Sejak pertukaran kerajaan negeri di tahun 2008, 10 tahun yang dahulu. Dan sebenarnya dalam manifesto Pakatan Harapan, manifesto yang ke 22 juga ingin menubuhkan satu jawatankuasa audit GLC di peringkat Parlimen.

Kepada jabatan dan institusi kerajaan pula, saya rasa satu urus tadbir yang cekap dan berintegriti harus mempunyai jaminan taraf perkhidmatan iaitu service level assurance (SLA), dengan izin dan piagam pelanggan mereka. Contohnya, jika permohonan subsidi baja petani ditetapkan pada 7 hari, maka, selepas 7 hari petani itu mesti mendapat jawapan. Kalau tidak lengkap dari segi dokumen dia, ia harus juga diluluskan atau ditolak, diluluskan terdahulu secara bersyarat dan dokumen boleh dikemukakan kemudian. Kita mesti ikut satu service level yang kita jaminkan. Piagam pelanggan, banyak agensi kerajaan ada piagam pelanggan tersendiri untuk pelbagai permohonan. Ini mestilah diukur bagi memastikan kita boleh meningkatkan keberkesanan kakitangan kerajaan. Ini juga akan membina semula keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Kami selalu menerima aduan bahawa permohonan dia walaupun sudah sampai tempoh dia, tetapi tidak dapat keputusan. Bukan sahaja rakyat biasa, sebagai seorang ADUN yang merupakan sebahagian kepada kerajaan negeri, kita juga selalu menghadapi masalah keberkesanan. Contohnya, ADUN diberikan peruntukan kerja-kerja kecil dan bekalan tahun 2018 yang telah kita senaraikan di bulan Julai. Waran juga diperturunkan pada 17 hari bulan September dari Pejabat MB, tetapi setakat akhir bulan November bagi kawasan saya hanya 5 daripada 27 projek kecil telah dikeluarkan, ataupun 18.5% dikeluarkan oleh Pejabat Daerah. Ini juga berlaku kepada ADUN yang lain. Kita rasa permohonan sampai kelulusan, pelantikan dan perjalanan kontrak ini melibatkan terlalu banyak pihak dari segi korporat maksudnya ini satu kos transaksi yang terlalu tinggi. Contohnya, bekalan peralatan kecemasan CPR untuk St. John Ambulance yang saya luluskan bulan Julai, masih tidak dikeluarkan selepas 4 bulan, bukan 4 minggu, 4 bulan. Waran dari Yang Berhormat EXCO Liow Cai Tung bertarikh 19 hari bulan September, sudah 2 bulan setengah masih belum dibayar. Pejabat Daerah atau Pegawai Daerah di bawah Menteri Besar maka ketidakberkesanan pegawai daerah atau pejabat dia akan menjejas imej pejabat Menteri Besar.

Setiap ADUN Pakatan Harapan diberikan RM50,000.00 untuk aktiviti tapi sampai hari ini sudah bulan 12. Saya sudah mendahulukan lebih kurang RM40,000.00 dari poket saya sendiri untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti tapi peruntukan RM50,000.00 ini masih belum diperturunkan. Jelasnya prosedur mestilah diringkaskan atau kita akan hilang keyakinan rakyat. Tapi, siapa yang menggubal prosedur ini? Prosedur ini digubal pada zaman pentadbiran dahulu. Sebelah sana, maka saya minta supaya Pegawai Kewangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri boleh mengkaji semula, mengkaji bagaimana kita boleh meringkaskan prosedur yang digubalkan di sebelah sana. Kita mesti meringkaskan prosedur, kita mesti mengurangkan kos transaksi. Satu peruntukan, katakan RM5,000 office manager, saya, pembantu saya sudah pergi pejabat daerah tiga sampai lima kali. Satu peruntukan melibatkan lapan sampai sepuluh orang, yang sepatutnya mungkin cuma dua orang boleh selesai. Maksudnya, transaksi kos yang terlalu tinggi. Jadi prosedur yang lama, haruslah dikaji semula dan saya cadangkan kita boleh tukarkan kepada sumbangan terus dalam bentuk cash seperti dipraktikkan di Parlimen, peringkat persekutuan.

Dan saya juga menyaran supaya semua jabatan dan agensi kerajaan tidak mempunyai sindrom penafian atau denial syndrome. Contohnya pada persidangan pada lapan, saya ada tanya satu

soalan mengenai sumbangan PIBG paksaan yang saya terima banyak aduan. Tetapi malangnya jawapan yang saya terima daripada Jabatan Pendidikan adalah perkara ini tidak wujud. Kalau kita selalu menafikan perkara atau masalah yang wujud, ini memang senang sekali, polis boleh kata langsung tidak ada jenayah. Kita pun tidak payah menubuhkan jawatankuasa banjir, kita boleh kata banjir tidak wujud. Adakah masalah boleh selesai dengan sikap penafian? Tidak. Urus tadbir kerajaan yang cekap dan berintegriti. Menurut laporan belanjawan, sebanyak RM13.7 juta geran keseimbangan negeri telah digunakan termasuk untuk menyelesaikan aduan awam. Tanggungan ini boleh diminimumkan sekiranya kita boleh menubuhkan atau mempunyai Biro Nasihat Rakyat dengan izin, Citizen Advise Bureau (CAB). CAB telah lama wujud di United Kingdom. Ia sebenarnya adalah satu panel profesional, sukarelawan yang operasinya dibiayai oleh kerajaan. Dan ia berkesan untuk membantu kerajaan dan menyelesaikan aduan-aduan awam. Termasuk aduan kepada, terhadap agensi-agensi kerajaan.

Bagi makluman Dewan yang mulia ini, Pusat Khidmat Pakatan Harapan di kawasan saya, bersama Ahli Parlimen dan seorang ADUN, kita terima beribu-ribu aduan dan pertanyaan dalam enam bulan yang lepas. Ini menunjukkan ketidakberkesanan agensi-agensi yang berkenaan. Dan untuk menjadi sebuah kerajaan yang demokratik, Open Government Data yang dilaungkan dalam manifesto Pakatan Harapan sangatlah penting. Negeri Pulau Pinang, negeri Selangor telah berjaya menggubal undang-undangnya. Iaitu Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 dan Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2011. Freedom of Information Enactment. Demi menghormati hak mendapat maklumat rakyat dan kebebasan mereka untuk mendapatkan maklumat. Adalah penting kita terbuka untuk pengawasan rakyat, scrutiny rakyat untuk mengelakkan operasi kotak hitam.

Menurut Titik Fokus 62, tahun 2020 akan menjadikan tahun melawat Johor. Titik Fokus 63 memperhebat promosi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa. Titik Fokus 64, menggalak dan memperbanyakkan penganjuran acara pelancongan. Titik Fokus 69, semuanya adalah untuk meningkatkan industri pelancongan. Realitinya, kesesakan di CIQ yang telah lama menjadi tradisi merupakan satu kekangan yang kita harus selesai. Sekiranya kita bertekad untuk menjayakan tahun melawat Johor, dengan ini saya menyarankan kerajaan negeri dan kerajaan pusat agar mengkaji konsep CIQ tunggal atau pun satu bangunan dua check point. Yang ini, ini adalah begitu berjaya di Macau, di Hong Kong, yang telah dibuktikan begitu berkesan. Pemeriksaan dan keselamatan tidak akan terjejas, tetapi masa melepasi pemeriksaan kastam boleh disingkatkan. Dan cadangan ini sebenarnya juga dicadangkan pada bulan Februari di bawah projek Rapid Transit dan HSR. Walaupun projek HSR telah ditangguhkan tetapi cadangan ini masih boleh diteruskan dan dilaksanakan tanpa HSR sekiranya kita dapat kerjasama dari pihak Singapore. Untuk menarik ketibaan pelancong transit dan pelancong yang melancong ke negera jiran seperti Singapore dan Indonesia, kita juga boleh mempertimbangkan melancarkan transit visa. Boleh menjadi 72 sampai 144 jam transit visa kepada pelancong yang memegang visa ke negara ketiga. Cara ini juga terbukti sangat berkesan di negara Eropah dan di China. Dan kedua kita juga boleh mengkaji, mengizinkan pelancong masuk ke Malaysia tanpa visa, pengecualian visa sekiranya mereka mempunyai visa ke Singapore. Di mana Singapore telah memeriksa pelancong asingnya dengan begitu ketat sekali, dan kalau kita nampak statistik ketibaan pelancong asing ke Singapore adalah seramai 17 juta pada tahun 2017. Dan sebahagian besarnya adalah dengan cara pelancongan free and easy.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Mengkibol, sila gulung.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Pelancong asing tiba Singapore pasti akan tertarik dengan Johor. Kalau 1% daripada 17 million iaitu 170,000 pelancong datang dan berbelanja RM1,000 di Johor atau di Malaysia, GDP Johor dapat dipertingkatkan sebanyak 0.15%. Polisi sebegini juga dibuktikan begitu berkesan di Ireland, di mana pelancong yang memegang visa United Kingdom boleh dibenarkan masuk ke Ireland tanpa visa. Dan juga mungkin boleh mempertimbangkan visa sewaktu tiba, visa on arrival dan juga berkesan di negara Thai. Titik Fokus 52, 95, 96 dan Titik Fokus 102. Sebenarnya dalam lawatan ke Singapore pada 12 November, Tun Dr. Mahathir menyarankan kepada rakyat Malaysia balik membina negara, walaupun tidak fasih Bahasa Malaysia, Tun berkata bahawa kerajaan PH akan memastikan diaspora Malaysia berasa dialu-alukan apabila mereka kembali ke tanah air. Saranan ini haruslah diikuti dengan pelaksanaan polisi-polisi yang berkesan. Negeri Johor boleh menjadi negeri contoh sekiranya terdapat polisi menggalakkan kembalinya rakyat Malaysia di seluruh dunia. Pembangunan Smart City, ekonomi mampan, high value high technology, semua ini hanya akan berjaya dengan sumber tenaga mahir dan pakar. Titik Fokus 95, Invest Johor. Bagaimanakah free zone di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) boleh diintegrasikan ke dalam rancangan invest Johor ataupun diperluaskan untuk menarik agensi yang berada di Singapore. Kalau sudah tidak ada tempat kosong di Tanjung Pelepas, boleh datang ke Kluang.

Titik Fokus 107, Bas Muafakat Johor. Perkhidmatan bas Simpang Renggam ke Renggam haruslah dilanjutkan ke bandar Kluang kerana terdapat beratus-ratus pelajar Simpang Renggam dan Renggam belajar di sekolah di Kluang. Mengapa ini hanya di Simpang Renggam ke Simpang tidak ke Kluang? Ini cuma isu mileage. Bas sudah ada, saya harap kerajaan boleh mempertimbangkan supaya bas ini boleh dilanjutkan ke Kluang.

Timbalan Speaker

Mengkibol, masa sudah tamat.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Boleh tambah masa? Titik Fokus...

Timbalan Speaker

Satu minit lagi ya, satu minit.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Titik Fokus 59, Pembangunan di kawasan tengah dan timur negeri Johor. Sebagai ADUN Mengkibol kami telah melancarkan satu inisiatif strategi Lembaran Johor Tengah. Kita telah mengadakan pelancaran, kita mengadakan rombongan media, blogger dari KL, Selangor dan kita juga mengadakan satu exhibition Jejak Sejarah yang kita jemput Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee untuk merasmikan pameran ini. Dan platform ini telah berjaya meningkatkan ketibaan pelancong sejak pelancarannya.

Timbalan Speaker

Mengkibol, dah masa sudah tidak ada.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Dan saya harap ini boleh membawa nadi ekonomi yang baru kepada negeri Johor, Kluang dan membawa peluang pekerjaan, peluang ekonomi yang berkualiti. Sekian terima kasih Puan Speaker.

Dengan ini, dengan sukacitanya saya menyokong cadangan Belanjawan Johor 2019. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih kepada YB Mengkibol. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 3.45 petang ini. Rehat, waktu rehat.

Dewan ditangguhkan pada jam 3.30 petang.

Dewan disambung pada jam 3.45 petang.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Persidangan disambung semula. Seterusnya saya menjemput YB Bukit Pasir.

Kapt (B) Haji Najib bin LepPAS · GSBukit Pasir

(Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, di awal perbahasan ini izinkan saya bagi ucapan. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, patik merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena ulang tahun hari keputeraan Tuanku yang ke 60. Patik turut memanjatkan doa semoga Allah memberi kurnia kepada tuanku agar umur yang panjang, dilimpahi kegemilangan dalam pemerintahan yang berjalan seiring bersama keharmonian rakyat sejagat. Ucapan tahniah juga saya panjatkan dan selamat juga saya panjangkan kepada Menteri Besar, Dato’ Osman Sapian, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani atas kurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Johor serta 62 penerima darjah kebesaran dan pingat kurniaan daripada Baginda Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar Sempena Istiadat Sambutan Hari Keputeraan ke-60 Baginda Tuanku baru-baru ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, DUN Bukit Pasir bangun untuk menyertai perbahasan atas usul mengenai Belanjawan Negeri Johor Darul Ta’zim 2019 yang telah dibentangkan. Pada prinsipnya, belanjawan merupakan perbelanjaan modal yakni capital expenditure yang sewajarnya membawa kepada peningkatan hasil keupayaan dan kecekapan proses pengeluaran bagi semua sektor ekonomi dan sosial negara ini. Bagi pihak rakyat dan pengundi-pengundi, belanjawan negeri seharusnya membuka ruang dan peluang baru untuk menambah pendapatan melalui aktiviti ekonomi serta meningkat kesejahteraan hidup di peringkat individu, keluarga mahupun masyarakat sepenuhnya. Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Belanjawan Negeri mengenai peranggaran negeri Johor tahun 2019, sebanyak RM600 juta telah dianggarkan di dalam peruntukan pembangunan mengikut jawatankuasa-jawatankuasa. Manakala Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran,

Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor mendapat 67.5% daripada jumlah anggaran peruntukan tersebut tahun 2019.

Justeru, daripada peruntukan-peruntukan yang telah disusun atur di dalam belanjawan ini hendaklah dibuat bagi tujuan meningkatkan kebajikan, ekonomi, kesejahteraan rakyat. Hari ini ekonomi negara berkembang dengan pesat. Demikian juga dengan ekonomi negeri. Kepesatan pembangunan ekonomi seiring disertai dengan arus pemodenan. Ini memerlukan input ekonomi yang berkualiti terutama dalam bentuk sumber tenaga manusia yang berpelajaran, berkemahiran dan produktif.

DUN Bukit Pasir ingin menarik perhatian kepada keadaan di kawasan DUN Bukit Pasir di mana wujudnya fenomena pemuda-pemuda Melayu khususnya yang terpisah dari arus pembangunan. Ini amat merugikan. Belia merupakan sumber kekuatan ekonomi. Kalau dilihat, mereka ini perlu dibimbing bagi memanfaatkan peluang-peluang ekonomi yang diwujudkan melalui pembangunan ekonomi negeri sama ada untuk menceburi bidang perniagaan, mengusahakan pertanian moden ataupun menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi. Dengan itu, mereka dapat menyertai arus pembangunan negeri dan memajukan diri mereka.

Seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian pada 17 Oktober 2018 oleh penulis Suhaila Shahrul Anuar, kadar kebolehpasaran graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) meningkat kepada 93% pada tahun lalu berbanding 80% pada tahun 2013, dengan gaji purata RM1,600.31 sebulan. Maka, dalam hubungan ini, belanjawan negeri haruslah memberi keutamaan dan perhatian kepada program Latihan Kemahiran Belia untuk melahirkan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi. Mereka perlu dibimbing untuk menceburi bidang perniagaan mahupun berkecimpung di dalam industri kecil dan sederhana. Selain itu, adalah penting belanjawan negeri dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi penyertaan golongan belia khususnya dan masyarakat setempat amnya.

Belanjawan merupakan industri pengurusan untuk mewujudkan nilai ekonomi ke atas sumber-sumber kekayaan negeri seperti sumber alam mahupun sumber sosiobudaya yang boleh menghasilkan sesuatu aktiviti ekonomi. Di samping projek-projek pertanian dan industri, sumber sosiobudaya boleh juga menghasilkan produk-produk pelancongan budaya seperti penginapan di kampung dan desa, makanan tradisi dan pelancongan alam sekitar. Kalau dilihat di kawasan DUN Bukit Pasir, Bukit Kepong pun kita lihat budaya-budaya tradisi amat baik untuk diketengahkan. Ini memerlukan infrastruktur yang baik untuk memudahkan rakyat kita melakukan usaha niaga di samping memudahkan pelanggan untuk mendatangi sesuatu tempat itu. Infrastruktur bukan semata-mata jalan raya dan sebagainya, tetapi termasuk juga memudahkan proses pentadbiran dan perundangan apabila mereka perlu berurusan dengan pihak berkuasa.

Saya lihat di sini, saya tengok daripada belanjawan yang baru dibentangkan, di dalam merangka Belanjawan Johor 2019, kerajaan negeri telah menggariskan 6 teras strategi bagi membantu pembangunan menyeluruh negeri. Saya suka ambil adalah salah satunya ialah teras ke-6, Urus Tadbir Cekap, Berintegriti dan Demokratik. Saya amat sedih dalam apa yang berlaku sekarang ini di kawasan DUN Bukit Pasir, benda ini tidak berlaku. Benda ini di sebaliknya. Di antara contoh yang terkini ialah saya membuat program untuk berkhatan untuk masyarakat tetapi Ketua Kampung yang dilantik seolah-olah dia lebih berkuasalah antaranya dia beri pada saya mesej, ‘Assalamualaikum. Program ini dah dapat keizinan Ketua Kampung berkenaan atau tidak?’ Jadi benda-benda seperti ini wujud dalam pentadbiran. Jadi, benda ini tidak sebenarnya. Seperti yang dicakapkan sebelum ini, Menteri Besar pun ada sebut, kita kena kerjasama demi rakyat. Daripada rakyat kita berkhidmat untuk rakyat. Jadi, benda ini tidak berlaku. Saya ibarat dianaktirikan di dalam mentadbir DUN Bukit Pasir. Seorang PAS di negeri Johor menghadapi tekanan yang begitu banyak tetapi saya akan bergerak demi rakyat, insya-Allah. (Dewan bertepuk).

Mengikut Laporan Sosioekonomi 2017, Jabatan Perangkaan, Johor adalah antara beberapa negeri yang membuat sumbangan yang besar kepada KDNK negara. Ia memberi bayangan negeri Johor adalah pesat membangun. Tetapi kita masih duduk di bawah konsep mentadbir orang kata tidak bersama dengan pembangkang untuk kebaikan masyarakat, kebaikan rakyat. Jadi perlulah kepada pihak pemerintah tengok dari semua sudut itu dan macam saya di, saya nampak dari sudut budaya yang diwujudkan seolah-olah supaya pembangkang ini tak boleh ke tengah dan pembangkang disekat sebegini rupa untuk menenggelamkan pembangkang ini. Tetapi, kalau Allah berkata, Allah menyebut, ‘Allah boleh balikkan bila-bila masa aje kuasa pemerintahan’. (Dewan bertepuk). Jadi, kalau kita masih ambil budaya yang orang kata budaya yang tidak sihat akan berlakulah perpecahan di kalangan orang-orang Melayu, orang-orang Islam, orang-orang India, orang-orang Cina. Jadi,

budaya ini budaya yang amat tidak sihat. Saya bukan orang politik, saya bukan orang apa, tapi saya telah diberi amanah dan tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat, saya berhak menerima apa yang pemerintah sepatutnya beri demi rakyat.

Mengikut laporan itu, ekonomi Johor berkembang pada kadar 6.2% dalam tahun 2017. Hampir semua sektor ekonomi berkembang dengan baik. Ini meliputi aktiviti perkhidmatan, pembangunan dan pertanian. Satu yang menarik bagi ekonomi negeri Johor, sub sektor perdagangan borong dan runcit, komunikasi dan pengangkutan merupakan sumber pertumbuhan yang penting iaitu pada kadar 6.8% dalam tahun 2017. Jadi, kalau kita nak beritahu parti Barisan Nasional tak baik, rasanya dia baik jugalah. Ada kebaikan yang telah dibuat. (Dewan bertepuk).

Apa yang ingin saya kaitkan di sini, sub sektor perniagaan borong dan runcit adalah mudah diceburi oleh semua orang termasuk mereka di pekan kecil mahupun di luar bandar. Oleh yang demikian, belanjawan negeri hendaklah peka dengan keadaan ini dan memanfaatkan dinamik ekonomi dalam sektor ini untuk faedah rakyat. Rakyat hendaklah digalakkan menceburi bidang perniagaan borong dan runcit kerana ia merupakan aktiviti ekonomi asas yang memenuhi keperluan hidup serta ia tidak susah untuk diceburi.

Satu lagi faktor yang wajar diberi perhatian ialah pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi di negeri ini, antaranya ialah Iskandar Puteri, RAPID di Pengerang dan hab universiti di Pagoh. Baru-baru ini, masa lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan akan didirikan lagi Universiti Muhammadiah daripada Indonesia kalau tak silap, dan bersyukur kepada Allah perkara ini harap-harap Allah memudahkan urusan, insya-Allah. Projek-projek ini perlu dimanfaatkan secara saksama di antara pelabur dan rakyat negeri Johor. Setiap peluang ekonomi dan perniagaan yang lahir daripada projek-projek tersebut hendaklah dibuka peluang atas dasar keutamaan kepada rakyat di negeri ini. Kerajaan negeri dengan ini perlu melatih, memandu dan menyiapkan rakyat dengan keupayaan-keupayaan tertentu bagi membolehkan mereka mengambil faedah dari pembangunan yang berlaku di sekitar mereka.

DUN Bukit Pasir amat bersyukur kepada Allah SWT dengan hanya seorang sahaja wakil PAS, tetapi walaupun seorang di dalam Johor ini, tetapi orang kata orang gerun kepada PAS, saya pun tak faham. Sebabnya banyak halangan-halangan yang cuba disekat. Jadi, perkara-perkara ini tak sepatutnya berlaku dan saya berharapkan daripada pemerintah supaya kita bersama-sama bekerjasama demi Islam, demi membangunkan negara, demi membangunkan masyarakat Islam kita, kita tegakkan syiar Islam sebaik-baiknya untuk manfaat bersama, insya-Allah.

Rakyat dari DUN Bukit Pasir amat menghargai, mengharapkan ini semua. Dengan yang demikian, saya rasa pendek saja waktu saya ni, YB Speaker, dengan yang demikian belanjawan negeri hendaklah meneliti semula industri-industri dalam sektor perniagaan yang disebutkan tadi demi untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat. Sekian, saya sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah wasalamulaikum warahmatullahi wabrakatuh dan salam sejahtera.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Bukit Naning, jemput.

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh. Yang saya kasihi Yang Berhormat Puan Speaker, Yang berusaha barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan, MMK Negeri Johor, Yang berbahagia Ahli Undangan Negeri Johor, selamat petang dan salam sejahtera. Di kesempatan ini Bukit Naning ingin mengucapkan tahniah di atas ucapan Menteri Besar Johor dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang bertemakan “Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari” pada Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor yang kali ke-14 pada 29 November 2018 lepas. Bukit Naning bersyukur diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2019 Tahun 2018. Bukit Naning merasakan ini satu kejayaan di bawah kerajaan negeri Johor dan bersyukur ke hadrat Allah SWT di bawah kerajaan Pakatan Harapan berjaya membentangkan Belanjawan 2019 setelah melaksanakan janji-janji manifesto sepuluh janji manifesto 100 hari atas slogan kata “Negeri Berprestasi Tinggi Bangsa Johor Bestari”. Ini agar terlaksana gerak kerja Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 yang dilancarkan pada 18 Ogos yang lepas. Moga lapan teras pelan ini tercapai dengan jayanya di bawah kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam titik fokus ke-134 telah dinyatakan sejumlah RM 4.8 juta diperuntukkan projek pembinaan tangki air di Bukit Naning. Ini merupakan khabar gembira yang

sangat baik bagi penduduk setempat. Boleh manfaatkan tangki air ini setelah dimaklumkan sekian lama dinantikan oleh penduduk masyarakat Bukit Naning. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri atas keprihatinan ini terutamanya Datuk Menteri Besar dalam peruntukan kali ini. Ini bagi mengatasi keperluan air di waktu puncak serta musim-musim perayaan. Dengan adanya tangki air ini dengan merangkumi ke kawasan-kawasan mukim Air Hitam dan keseluruhannya dan mukim bersebelahannya juga mendapat manfaat. Selain itu, Bukit Naning mencadangkan sistem perparitan atau pun paip perlu juga diberikan penekanan agar keseragaman bagi purata menerima air ke atas pengguna dapat semaksima mungkin. Ini kerana sistem perparitan yang terlalu lama, berpuluh-puluh tahun yang tidak diganti, tidak di selenggara akan sudah semestinya sentiasa mengakibatkan kebocoran yang akan merugikan semua pihak.

Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Naning merakamkan penghargaan dalam titik fokus ke-123 yang melibatkan RM22 juta bagi geran kewangan di dalam kawasan Taman Perindustrian Perkayuan Muar. Ini bagi merancakkan lagi pertumbuhan industri perkayuan dalam sistem siap bina bagi fasa pertama. Kawasan perkayuan Muar ini merupakan yang menjadi pelaburan bagi kerajaan negeri dengan pulangan ekonomi yang mampan. Industri tersebut mempunyai asas kukuh dan berpotensi besar serta menjanjikan masa depan yang lebih cerah kepada pengusahanya. Johor memerlukan kedinamikan baharu untuk melonjakkan ekonomi negeri ini dengan mempelbagaikan kegiatan ekonominya bagi menentukan agar tumbuh secara konsisten. Sebab itu, Johor kena menambah baik industri ini agar dapat memberikan nilai tambah yang lebih besar malah membantu berlakunya inovasi dan rangsangan baru dalam sektor ini agar dengan geran kewangan ini dapatlah menjadi nadi kepada pemangkin pertumbuhan industri ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam mutakhir ini beberapa insiden yang membimbangkan boleh membuatkan rusuhan kaum seperti 13 Mei 1969 yang merupakan titik hitam dalam sejarah negara. Bagi sebuah negeri yang masyarakatnya kosmopolitan yakni yang berlainan bahasa, agama, keturunan hidup sebagainya. Rusuhan kaum akan mematahkan sendi-sendi pembentukan negeri bangsa dan kesinambungan bangsa tersebut akan terjejas. Perpaduan ialah penyatuan dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Ini merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains kemasyarakatan. Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza dalam masyarakat ringkas atau biasa ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi. Bagi masyarakat yang lebih kompleks pula, terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbangkan kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat. Oleh itu, Bukit Naning mengajak agar perpaduan kaum bagi sebuah negeri yang mengamalkan demokrasi ini dikekalkan dalam secara harmoni.

Yang Berhormat Puan Speaker, pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pendatang haram merupakan golongan orang yang masuk atau tinggal di sebuah negara secara haram. Secara haram bermaksud tidak mengikut undang-undang dan imigrasi. Contohnya memasuki negara dengan tujuan tanpa permit dan bukan dengan melalui pintu masuk utama. Bagi pendatang asing yang memasuki secara laluan yang sah juga dititik beratkan dalam hal ini kerana di kawasan perindustrian Bukit Bakri sering kali memperlihatkan pendatang asing ini berniaga sama ada di premis ataupun penjaja. Ada di kalangan mereka boleh mengundang kepada peningkatan kadar jenayah. Contohnya peningkatan kes pecah rumah dan gangguan seksual.

Malah lambakan warga asing haram ini juga boleh memberi implikasi buruk dengan peningkatan kadar penyakit berjangkit sebagai contoh berdasarkan data saringan pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing melalui agensi pemantauan pemeriksaan perubatan kesihatan ataupun FOMEMA, penyakit seperti tibi mencatatkan jumlah tertinggi di kalangan warga asing. Ianya melibatkan 16,751 kes. Hepatiatis B sebanyak 5,348 kes manakala penyakit kelamin berjangkit, ataupun STD yang ketiga tertinggi dengan 1,839 kes. Data ini adalah untuk warga asing yang mempunyai dokumen yang sah. Bagaimana dengan PATI yang lebih ramai tinggal di dalam negara. Menurut Kementerian Sumber Manusia, terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini dan 2.1 juta daripadanya adalah warga asing yang mempunyai permit kerja manakala selebihnya adalah imigran haram. Kajian menunjukkan bahawa sebahagian warga asing yang tinggal adalah warga asing yang tamat permit kerja namun tidak pulang ke negara asal mereka malah terus tinggal bekerja dan berniaga di Malaysia. Demi menjamin keharmonian negara ini haruslah suatu tindakan bersepadu di jalankan oleh beberapa pihak berwajib. Bukit Naning berharap tiada perkara yang tidak diingini berlaku di kalangan pendatang asing ini terhadap penduduk setempat. Masyarakat setempat telah sekian lama hidup secara aman walaupun berlainan agama dan kaum.

Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya saya ingin menyentuh sedikit tentang sistem e-kasih yang merupakan sistem pangkalan data keluarga yang berada di paras kemiskinan negara. Ia dilaksanakan pada 31 Oktober 2007 pada salah satu mesyuarat kabinet bagi membantu perancangan pelaksanaan dan pengawalan program kemiskinan. Sejak itu ia telah dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, ICU JPM dengan penuh teliti sebelum penggunaannya dimulakan pada Jun 2008. Selain mereka yang telah memenuhi status miskin berdasarkan pendapatan paras garis kemiskinan (PGK). Pendapatan per kapita isi rumah, mereka yang layak untuk mendaftar dan dimasukkan ke dalam e-kasih adalah isi rumah yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,000.00 sebulan di kawasan luar bandar dan RM1,500.00 di kawasan bandar. Sistem ini boleh ditambah nilai dengan penelitian sebelum pelaksanaan kerana perlu mengikut peredaran masa yang bakal berinovasi industri 4.0. Bank data ini diperlukan bagi menjaga, diperlukan bagi menjadi sebuah negeri berjaya mengharungi industri 4.0.

Yang Berhormat Puan, Speaker, seterusnya saya ingin menyentuh tentang trend kejatuhan harga sawit yang menimbulkan keresahan pekebun kecil di kawasan pendalaman yang hanya bergantung kepada pendapatan hasil jualan komoditi sawit. Keadaan ini diburukkan lagi apabila hasil sawit turut berkurangan iaitu melawas pada masa ini. Keresahan ini ditambah lagi apabila pekebun kecil kelapa sawit terpaksa berhadapan dengan kos penyelenggaraan tanah seperti peningkatan harga racun dan harga baja. Seterusnya, peningkatan upah buruh kasar yang mengakibatkan ianya tidak selari dengan harga komoditi sawit yang sering turun ketika ini. Kejatuhan harga sawit ini sudah tentunya akan membuatkan masyarakat di kawasan kampung yang berpendapatan rendah yang hanya bergantung dengan harga komoditi sawit ini menghadapi, yang akan menghadapi hari permulaan sekolah anak-anak yang akan bermula pada awal tahun hadapan, sudah tentunya akan lebih menyulitkan. Justeru itu, Bukit Naning memohon kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk mencari jalan titik penyelesaian bagi menangani kejatuhan harga sawit ini agar dapat segera di atasi supaya ia dapat memberi kelegaan kepada pekebun kecil dan keseluruhannya rakyat yang bergantung kepada harga komoditi sawit.

Timbalan Speaker

Sila gulung, Bukit Naning, jemput.

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Terima kasih Puan Speaker, saya ingin akhiri ucapan saya. Dengan akhir ucapan saya ini sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri Johor dalam menerajui perubahan menggalas harapan bangsa Johor Bestari. Sebanyak 207 titik fokus Belanjawan 2019 akan memberi manfaat dan kebaikan kepada seluruh rakyat negeri Johor yang dinantikan pelaksanaannya. Dengan ini, Bukit Naning mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri Johor yang telah berjaya memberi komitmen yang baik dalam Belanjawan 2019 ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Seterusnya Yang Berhormat Bukit Permai, jemput.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera, salam bahagia dan salam Harapan Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, terima kasih Bukit Permai yang telah diberi peluang untuk membahaskan belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Dan, saya merasa terpanggil untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat dan juga Pegawai-Pegawai Kanan kerajaan yang telah begitu merencana dan merancang Belanjawan negeri ini untuk rakyat dan Bangsa Johor. Walaupun, sahabat-sahabat saya daripada Benut, daripada Kahang begitu banyak mempersoalkan tentang bagaimana nak menjayakan Belanjawan ini.

Saya penuh yakin, Belanjawan ini bukan sahaja Yang Amat Berhormat buat seorang diri. Ianya dirumuskan oleh pakar-pakar ekonomi negeri, pakar-pakar perancangan pembangunan negeri, jadi saya yakin bahawa mereka yang terlibat dalam merencana dan membentuk belanjawan ini Yang Berhormat Puan Speaker, bukan calang-calang orang, jadi rakan-rakan yang di sana itu ambil kiralah sedikit. Ini baru di bentang, baru direncanakan, baru nak di bentang, belum pelaksanaan lagi jadi bagi peluang pada kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan setiap apa yang terkandung dalam draf Belanjawan tersebut. (Dewan Bertepuk). Bagi peluang kepada kami kerajaan. Kami tidak pernah persoalkan sama ada buruk baik Belanjawan ini di bentang sama ada ianya memberi manfaat pada rakyat ataupun tidak. Tetapi sudah barang pasti Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan sekarang ini penuh daya imaginasi nak menentukan bahawa rakyat dan Bangsa Johor akan terus dapat hidup lebih baik daripada apa yang Kerajaan Barisan Nasional buat yang lepas-lepas. Saya beranggapan demikian kerana janganlah kerana, ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’, tak

usah. Yang penting, kita sama-sama memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan, kita sama-sama memikul tanggungjawab kita bagi menentukan bahawa negeri Johor seiring. Saya penuh yakin Yang Berhormat Speaker, dalam pilihan raya yang lepas ini, kalau tanpa Manifesto pun Pakatan Harapan boleh menang dalam pilihan raya lepas, tanpa Manifesto. Sebab rakyat mahukan perubahan. Jadi bagilah kita ruang perubahan ini. Dan saya berharap rakan-rakan saya di sebelah sana, marilah kita sama-sama berganding bahu. Walaupun tadi sahabat saya daripada Kahang begitu berapi-api, saya yakin bahawa, ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama akan bercantum juga’, Yang Berhormat Puan Speaker.

Yang Berhormat Puan Speaker, salah satu yang lebih penting ialah bagaimana kita nak menterjemahkan belanjawan ini menjadi satu yang realiti kepada rakyat. Bagaimana peranan kita bersama, peranan kerajaan, peranan kakitangan kerajaan amat penting dalam nak menentukan menjayakan Belanjawan ini. Sehubungan dengan itu Yang Berhormat Puan Speaker, saya mencadangkan pada Dewan yang mulia ini supaya kerajaan menubuhkan melantik satu Jawatankuasa Eksekutif Bebas yang terdiri daripada pakar-pakar ekonomi, yang terdiri daripada profesor-profesor untuk menentukan, untuk mereka melihat bahawa apa yang di bentang oleh kerajaan dalam belanjawan ini dilaksanakan dengan sepenuhnya, dengan jayanya supaya rakyat dapat melihat bahawa kerajaan kita, kerajaan Pakatan Harapan betul-betul mahu nak melaksanakan pembangunan Johor untuk rakyat dan Bangsa Johor. Jadi, saya mencadangkan dalam Dewan yang mulia ini Yang Berhormat Puan Speaker, supaya kerajaan melantik satu Jawatankuasa Eksekutif Bebas yang bukan dari orang politik. Satu pun tak mahu. Lantiklah seberapa banyak yang boleh, dari pakar ekonomi, pakar pendidikan, pakar pelajaran, pakar dan berbagai-bagai pakar perisian duduk dalam jawatankuasa ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, salah satu daripada Manifesto, salah satu daripada teras belanjawan kita ialah menjamin kesejahteraan rakyat. Kita kena lihat Yang Berhormat Puan Speaker, apakah pengertian sebenar tentang kesejahteraan rakyat. Rakyat ini meliputi semua kaum, semua bangsa dan ia meliputi semua tahap lapisan penduduk dalam negeri Johor. Salah satu yang kita harus lihat, yang harus kerajaan lihat, Bukit Permai mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk melihat dengan lebih terperinci dan mendalam lagi tentang tahap kemiskinan tegas dalam bandar. Selama ini kita melihat bahawa kemiskinan tegas, mesti luar bandar, kampung, pekerja ladang, nelayan tanpa kita sedari Yang Berhormat Puan Speaker, dalam arus pembangunan maju sekarang ini, dalam arus pembangunan bandar sekarang ini, dalam kemajuan bandar sekarang ini, bahawa kemiskinan tegar dalam bandar lebih merbahaya daripada kemiskinan tegar di luar bandar. Maka sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Permai suka nak mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada kakitangan kanan dalam Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengkaji bagaimana kita nak menentukan bahawa kemiskinan tegar dalam bandar ini dapat dikenal pastikan walaupun saya sedar semua Pihak Berkuasa Tempatan ada yayasan masing-masing. Yayasan berbagai-bagai yayasan tetapi yayasan ini tidak sampai kalau tidak dirungkaikan dengan sepenuhnya untuk matlamat kita mengatasi miskin tegar dalam bandar.

Yang Berhormat Puan Speaker, salah satu daripada aspek pembangunan kesejahteraan rakyat saya akan bercakap satu tajuk saja sini, iaitu kesejahteraan rakyat. Kesejahteraan rakyat antaranya ialah bagaimana rakyat menikmati, ingin menikmati pembangunan merdeka setelah 62 tahun bagaimana kita nak dapat, rakyat nak menikmati apa erti kemerdekaan. Apa erti kemajuan dalam kemerdekaan? Sehubungan dengan itu Yang Berhormat Puan Speaker, salah satu daripada aspek ialah perancangan kita, perancangan kerajaan dalam aspek nak menentukan bahawa matlamat belanjawan pada kali ini betul-betul dapat dirasakan, dapat dinikmati oleh rakyat sebagaimana salah satu daripadanya ialah peruntukan MARRIS. Lebih daripada RM600 juta dan saya berharap supaya peruntukan MARRIS kali ini betul-betul dapat sampai kepada matlamat dan rancangan jajaran kerajaan untuk menentukan bahawa setiap projek jalan yang dicadangkan sama ada dibarukan atau diturap semula benar-benar menepati kehendak setiap kawasan yang dicadangkan. Saya bercakap demikian Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Permai bercakap demikian kerana kita tidak mahu peruntukan MARRIS ini dia berlapis-lapis, supaya contohlah katakan di FELDA Taib Andak baru-baru ini, baru seminggu ini diturap jalan balik semula. Dan ada jalan yang sudah diturap tidak sampai pun setahun diturap balik semula. Ini boleh merugikan dari segi matlamat bagaimana kita nak mensejahterakan rakyat dapat menikmati dengan sepenuhnya.

Yang Berhormat Puan Speaker, salah satu daripada aspek kita sekarang ini ialah bagaimana kita nak mengatasi masalah perumahan. Perumahan ini meliputi perumahan mampu biaya di kalangan perbandaran, luar bandar dan sebagainya. Dan, Bukit Permai melihat Yang Berhormat Puan

Speaker, salah satu masalah yang sedang serius walaupun tidak disebut dalam belanjawan kita tentang masalah FELDA saya berterima kasih pada rakan-rakan sama ada dalam barisan kita atau barisan di sana yang telah menyentuh isu-isu dan Rancangan Tanah FELDA.

Salah satu masalah besar di kalangan Generasi Kedua FELDA ialah masalah perumahan di Rancangan Tanah FELDA. Untuk generasi Kedua FELDA, maka saya berharap jawatankuasa yang akan ditubuhkan oleh kerajaan yang nak menentukan masalah-masalah dalam FELDA ini mengambil kira supaya Bukit Permai mencadangkan Yang Berhormat Puan Speaker, dalam Dewan ini, supaya mana-mana tanah kosong dalam Rancangan Tanah FELDA dibangunkan sebagai rumah Generasi Kedua sama ada oleh pihak swasta atau pihak yang berkemampuan yang dilantik oleh kerajaan. Sekarang ini ada tanah yang telah diberikan kepada Generasi Kedua tetapi gagal dan kurang upaya untuk dibangunkan.

Sebagai contoh, rancangan penempatan tanah yang telah diluluskan oleh kerajaan di Rancangan Generasi Kedua FELDA Inas, sudah diluluskan. Tapi sampai sekarang keupayaan mereka untuk menjana, nak mendirikan perumahan tersebut tidak mampu kerana keadaan tanah sekarang ini, tanah yang telah diluluskan, seperti hutan belukar nak mengerjakan tanah, nak membersihkan kawasan pun memerlukan peruntukan hampir RM500,000.00, RM600,000.00 Yang Berhormat Puan Speaker. Belum lagi peruntukan jalan, belum lagi parit, longkang dan berbagai-bagai lagi. Jadi, Bukit Permai mencadangkan di masa yang akan datang, supaya mana-mana Rancangan Tanah FELDA yang ada kekosongan yang boleh dibuat sebagai rancangan Perumahan Generasi Kedua FELDA diberikan peluang kepada pihak swasta yang berdaya saing yang boleh mampu untuk menjalankan projek-projek perumahan.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya bercakap kenyataan rakyat. Umpamanya dari segi pemilikan mengadakan lebih banyak ruang-ruang niaga dalam kawasan perbandaran. Saya melihat jika semua Pihak Berkuasa Tempatan, saya menganggap seperti Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Yang Berhormat Puan Speaker,, Majlis Bandaraya Johor Bahru. 3 Bandaraya, 3 Majlis ini, saya menganggap sebagai Golden Triangle Johor, Golden Triangle Johor dengan izin, Yang Berhormat Puan Speaker. Jadi apa salahnya, supaya perancangan Pihak Berkuasa Tempatan ini dapat merencanakan lebih banyak pembinaan gerai-gerai, gerai-gerai yang mampu disewa, dimiliki oleh mereka yang nak berniaga kerana kalau kita melihat sekarang ini, sebagai salah satu contoh di sebuah pasar raya di Kulai, 90% yang mendapat jualan menjual barangan di kaki lima dalam pasar raya tersebut orang Pakistan. Dialah jual carpet, dialah jual tudung, dia jual baju Melayu dan berbagai-bagai lagi. Jadi bagaimana rakyat tempatan nak dapat peluang kalau pasar raya pun tidak memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk berniaga dalam pasar raya-pasar raya tersebut.

Yang Berhormat Puan Speaker, salah satu daripada aspek kita sekarang ialah rakyat. Saya sendiri mengingati diri saya. Saya sendiri berpesan kepada diri saya dan saya juga berharap rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan berpesan pada diri masing-masing bahawa rakyat melihat kita sekarang, rakyat melihat sejauh mana kerajaan Pakatan Harapan boleh memenuhi kehendak rakyat, rakyat melihat bagaimana peranan Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan memberi service kepada rakyat, dengan izin. Jadi, saya berharap supaya ini menjadi iktibar kepada kita Yang Berhormat Puan Speaker, supaya di masa akan datang bahawa rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Harapan, rakyat akan terus memberi keyakinan untuk terus memberi peluang kepada kita memerintah persekutuan dan juga negeri. Saya tak hendak bahawa sejarah akan tercatit, kalau sejarah boleh tercatit 65 tahun memerintah boleh berkubur. Saya tak nak bahawa kita Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan Pakatan Harapan mudah-mudahan dengan izin Allah, bukan setakat kita sepenggal tapi kita akan memerintah berpenggal-penggal lagi di peringkat persekutuan dan peringkat negeri dengan izin Allah. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Puan Speaker, salah satu daripada kelompok-kelompok yang kita harus pandang ialah masalah pekerja-pekerja ladang. Ada sebuah ladang dalam daerah Kulai Yang Berhormat Puan Speaker, sampai sekarang ini kita dah 60 tahun lebih merdeka, pekerja ladang tersebut masih lagi minum menggunakan air sungai yang di pam masuk ke tangki. Ini dah merdeka 60 tahun lebih Yang Berhormat Puan Speaker. Ini terjadi. Jadi, saya rasa benda-benda begini harus diambil berat oleh pihak kerajaan supaya nasib pekerja-pekerja ladang tidak terabai. Kerana pekerja ladang ini juga merupakan salah satu sumber bagi kita. Pekerja ladang juga memberi undi kepada kita, jadi saya berharap nasib pekerja-pekerja ladang ini tidak akan terabai supaya perhatian-perhatian yang lebih berat dalam menangani masalah mereka. Pekerja-pekerja ladang di sebuah ladang di Kulai masih lagi menggunakan air yang di pam daripada sungai masuk ke tangki. Itu pun bukan hari-hari, bukan

setiap jam Yang Berhormat Puan Speaker, dia hanya bermula daripada pukul 12 sampai pukul 3, lepas tu stop. Jadi, pekerja ladang terpaksa menyimpan air yang banyak apakah kualiti air itu terjamin? Jadi saya mohon kepada kerajaan dan juga jabatan yang berkenaan dapatlah memberikan perhatian yang berat dalam perkara ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, perkara-perkara lain ialah dari segi peruntukan-peruntukan kerja-kerja memesin rumput di tepi jalan yang sebelum ini diselenggara oleh Selia Senggara. Untuk makluman Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Permai melihat perkara ini sudah serius sebab sudah 2 bulan semua kerja-kerja pemotongan rumput di tepi jalan tergendala tidak dibuat. Jadi saya berharap supaya kerajaan ataupun pihak-pihak yang terbabit dalam perkara ini memandang serius perkara ini. Orang dah mula bercakap. Dulu masa zaman Najib tak pernah pun jadi macam ini. Zaman Mahathir ini rumput tepi jalan pun tak terpotong lagi dah. Ini reaksi rakyat. Jadi saya berharap perkara ini dapat diambil serius oleh mana-mana jabatan yang terlibat kerana saya penuh yakin hubungan kita dengan semua jabatan kerajaan, saya cakap terus terang Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Permai cakap terus terang, hubungan Bukit Permai dengan semua ketua-ketua jabatan kerajaan daerah Kulai saya bagi percent, saya bagi peratus 100% dia menyokong kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini. Saya tak dapat apa-apa, ini bukan ampu bodek, cakap terus terang, cakap ikhlas, ini cakap dalam Dewan. Sebab itu Yang Berhormat Puan Speaker, perkara-perkara ini harus diambil perhatian. Hendak memberhentikan projek kena tengok masalah rakyat. Reaksi seperti ini kita nak tahu, rakyat tanya pada siapa sekarang? Siapa punya salah? Orang tak fikir salah apa, orang akan fikir salah kerajaan Pakatan Harapan. Begitu juga dengan masalah gaji peneroka-peneroka FELDA.

Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Permai ingin memaklumkan untuk makluman Yang Berhormat Puan Speaker, peneroka FELDA ini sekarang dapat gaji kalau tak 26, 27 hari bulan. Baru-baru ini, 26, 27 hari bulan baru dapat gaji. Kerajaan dah dapat gaji peneroka FELDA pun tak dapat gaji. Apa masalah yang sebenar? Ini menjejaskan sara hidup, menjejaskan masalah peneroka itu sendiri untuk mengatasi berbagai-bagai masalah. Jadi saya berharap pihak pengurusan FELDA supaya mengambil kira masalah ini. Supaya setiap gaji peneroka tu kalau boleh dibayar sebelum 22 hari bulan. Bagi memudahkan keluarga-keluarga peneroka mempelbagaikan perancangan hidup mereka, Yang Berhormat Puan Speaker.

Yang Berhormat Puan Speaker,

Timbalan Speaker

Bukit Permai, sila gulung.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Akhirnya Yang Berhormat Puan Speaker, sebagai seorang yang begitu prihatin kepada masalah ini, saya berharap apa yang telah diutarakan dan telah direncanakan oleh pihak kerajaan dalam membentangkan belanjawan ini benar-benar mendapat manfaat kita. Kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan semua ketua-ketua kerajaan, pakar-pakar ekonomi dan perancangan ekonomi yang telah membentangkan belanjawan yang begitu yang saya rasa seperti bulan jatuh ke riba, saya akhiri Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Permai mengakhiri pembentangan belanjawan ini dengan serangkap pantun, khasnya kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan juga pada semua ketua-ketua kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan yang telah merencanakan Belanjawan Johor pada tahun ini. “Harap-harap kelapa puan, tidak puan kelapa bali, harap hati kepadamu tuan, tidaklah tuan siapa lagi”. Sekian, Yang Berhormat Puan Speaker, saya mohon menyokong belanjawan ini. Terima kasih. (Dewan Bertepuk).

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Tenggaroh, jemput.

Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker, salam sejahtera, salam muafakat Johor. Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang berucap dalam Rundingan Bajet 2019.

Yang Berhormat Puan Speaker, Tenggaroh juga mengambil kesempatan ini untuk mewakili rakyat Tenggaroh untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Yang Berhormat Puan Speaker, dalam masa ini Tenggaroh nak juga ucapkan sekalung tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas pembentangan Bajet Negeri Johor yang paling lama iaitu lebih kurang 3 jam. Tahniah juga diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah berjaya membentangkan suatu bajet surplus sebanyak RM3.43 juta. Di atas kertas, bajet ini nampak cantik tetapi apabila dilihat secara detail tiada perbezaan ketara antara Bajet 2018 dan Belanjawan 2019.

Dari segi kutipan hasil, jumlah perbelanjaan dan lebihan defisit. Namun, perbezaan ketara ditunjukkan dalam perbelanjaan mengurus yang menurun secara ketara sebanyak 36.8% pada tahun 2019, perbezaan ketara juga nyata dalam perbelanjaan pembangunan yang menunjukkan pengurangan sebanyak 14.3%.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, biasanya sebuah negara akan berbelanja lebih. Bila dia belanja lebih, rakyat akan mempunyai duit yang lebih untuk belanja, itu dah biasa semua negara pun ekonomi yang tidak baik dia akan buat tersebut dan kerajaan negeri bila mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan projek pembangunan dan juga lepas kerajaan pusat dah batalkan projek HSR yang kebanyakannya terlibatnya di Johor. Pendapatan rakyat akan berkurangan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, dan harga barang yang semakin meningkat ini adalah satu platform yang tidak begitu baik. Bila kita mengurangkan perbelanjaan mengurus kita dan perbelanjaan pembangunan kita, investor pun tak banyak masuk. So, ini akan merisaukan dan juga akan menurunkan pendapatan rakyat. Dan akhir sekali rakyat yang merana. Dan, bila kita tunjukkan bajet surplus hari ini RM3.4 juta lebih tapi bila perbelanjaan pengurusan dan perbelanjaan pembangunan dikurangkan memang tidak mustahil dapat satu belanjawan surplus.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam ucapan bajet Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang lama tetapi apa yang saya perhatikan hampir 80% daripada projek ataupun program telah pun disebut dalam Bajet 2018 sebagai contoh untuk Mersing. Projek Lembah Tenusu di Jemaluang yang bernilai RM70 juta. Projek Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing yang bernilai RM26.5 juta kalau kita tengok verbatim Belanjawan 2018 memang dah ada dah. Tambahan pula, Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar di Pulau Besar telah pun dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia pada awal tahun ini. So, projek-projek ini memang dah dibuat dan dilancar, diumumkan. Dan apa yang baru untuk Mersing ialah Lapangan Terbang Mersing. Bila disebutkan Lapangan Terbang Mersing, rakyat Mersing gembira. Banyak dia rasa akan dapat manfaat, saya pun memang setuju dengan lapangan terbang di Mersing. Tetapi apabila saya tengok bajet, apa yang dikatakan oleh kerajaan negeri ialah mereka akan memohon peruntukan RM5 juta melalui ECER bagi menjalankan kajian bagi mengenal pasti kesesuaian tapak projek dan kebolehlaksanaannya. So, ini belum confirm lagi projek lapangan terbang sebab kalau kita nak buat lapangan terbang kita kena tahu boleh ke kita ada lapangan terbang, so, nak buat pengumuman ini rakyat dah nanti-nantikan lapangan terbang tapi ini baru projek kajian. Dan saya dalam kajian ini pun saya berharap kerajaan negeri dapat boleh bagi penjelasan bahawa ini dia nak buat satu airport domestik ke atau international? Sebab kita ada lapangan terbang di Kuantan. Dan Air Asia pun tak terbang ke Kuantan. Kalau lapangan terbang di Mersing macam mana kita dapat kajian dia. So, memang kajian itu penting, tapi biar jelas pada rakyat. Belum buat lapangan terbang tapi kita nak buat kajian saja. Itu satu.

Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum buat lapangan terbang, saya juga mengharapkan kerajaan negeri tengok pada jalan ke Mersing. Kalau kita tengokkan jalan dari Kota Tinggi ke Mersing, jalan ini setiap minggu ada accident bukan hanya accident ada kemalangan maut terlibat, banyak kemalangan maut. Kalau kita tengok laporan-laporan Polis, laporan-laporan akhbar, jalan ini adalah antara jalan yang berbahaya di Johor. Dan saya mengharapkan di sini kerajaan, saya tahu ini bukan dana kerajaan negeri tapi saya mengharapkan kerajaan negeri boleh berbincang dengan kerajaan pusat mengutamakan jalan, menambahkan bajet untuk memperbaiki jalan ini. Kalau boleh, dari dua lorong jadikan empat lorong. Kalau dah jadi empat lorong, saya rasa dari Mersing ke Johor Bahru, Mersing ke Senai, tak sampai 1 jam. Dia memendekkan masa. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan pelancongan juga. So, ini yang saya harapkan dari segi jalan untuk Tenggaroh dan Mersing.

Yang kedua Yang Berhormat Puan Speaker, saya harapkan projek Pusat Pentadbiran Mersing Baru, saya memang mengalu-alukan pengumuman Yang Amat Berhormat untuk pusat pentadbiran daerah Mersing sebab pusat pentadbiran daerah Mersing ini memang dah lama. Kalau dari segi mendiang saya bertanding sebagai Ahli Dewan DUN Tenggaroh masa saya kecil, Tenggaroh pun pusat pentadbiran itu memang dah lama, memang yang sama, dah dekat 30 tahun yang sama dan sekarang memang bangunan itu dah uzur dan tidak people friendly, customer friendly, dengan izin. So, dengan pusat pentadbiran baru, saya mengharapkan di Mersing banyak agensi-agensi kerajaan ini berlainan. Dia kerajaan negeri berselerak dan saya mengharapkan dengan pusat pentadbiran baru semua dapat diseragamkan satu, jadikan one stop centre dengan izin.

Yang Berhormat Puan Speaker, unjuran daripada apa yang dikatakan oleh sahabat saya Yang Berhormat Kahang, dari tahun 2015 program inklusif masyarakat India telah dimulakan dengan peruntukan RM4 juta, dinaikkan sampai 2018, RM8 juta dan tahun ini, program ini dah ditukar nama, rebrand pada Program Bantuan Masyarakat India dan diluluskan sebanyak RM3 juta. Rakyat India, masyarakat India dah banyak menyokong kerajaan Pakatan Harapan dan saya tidak tengok wajarnya menurunkan bajet dari RM8 juta kepada RM3 juta dengan keadaan sekarang, masyarakat India memerlukan lebih banyak bantuan dan saya mengharapkan kerajaan negeri apa dikatakan ini satu bajet boleh menambahkan RM3 juta ini balik kepada RM8 juta dan saya ada juga persoalan kepada kerajaan negeri, Bajet 2018 yang diluluskan sebanyak RM8 juta, apakah dana ini telah digunakan ke belum digunakan? Apakah status dana ini? Sebab setahu saya dana ini belum digunakan lagi. Saya mungkin silap, tapi setahu saya mungkin dana ini belum digunakan lagi. Kalau betul dana ini belum digunakan lagi, mana dana ini? Kalau dana ini belum digunakan saya harapkan RM8 juta campur dengan RM3 juta sepatutnya RM11 juta dibelanjakan untuk masyarakat India pada tahun 2019 nanti. Itu yang sepatutnya dijalankan bukan hanya RM3 juta.

Dana RM8 juta ini patut dibelanjakan dan tambahan pula masyarakat India, peluang pekerjaan di PBT 5 orang patut diambil di setiap PBT pada perbelanjaan Bajet 2018 telah diumumkan. Hingga sekarang saya hendak tahu status adakah 5 orang sudah diambil di PBT-PBT? Saya mengharapkan jawapan daripada EXCO-EXCO yang berkenaan untuk bagi jawapan agar beritahu status memang dah ada 5 ke orang? Sebab masyarakat India memang mahukan kerja di sektor kerajaan dan ini satu peluang yang telah dilancarkan pada tahun 2018. Dan kerajaan Pakatan Harapan patut meneruskan untuk kebaikan rakyat masyarakat India.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam bajet kali ini satu lagi perkara yang saya tengok ialah untuk warga FELDA. Tenggaroh, kebanyakan pengundi saya adalah peneroka FELDA. Dan warga FELDA ini penyumbang pada ekonomi negeri antara yang tertinggi. Penyumbang ekonomi negeri dan bila bajet yang dibuat pada tahun 2019 tak ada satu untuk warga FELDA. Kalau kita bandingkan dengan Bajet 2018, kita ada skill training untuk warga FELDA, generasi kedua sebanyak RM1.5 juta. Kenapa diwujudkan skill training ini dengan izin, sebab dia nak lebih generasi kedua ini, dia dapat increase kan skill dia untuk dapat peluang pekerjaan di Pengerang. Tetapi sekarang tak ada, skill training dah tak ada. Lepas itu dalam peruntukan MARRIS, pada Bajet 2018, RM30 juta diumumkan untuk jalan-jalan perkampungan FELDA. Adakah dana ini diteruskan pada tahun ini? Sebab jalan-jalan perkampungan FELDA perlukan dana. Kalau tak disebut duit itu tak boleh digunakan untuk jalan-jalan FELDA. Yang ini penting kerajaan negeri saya harap mendapat jawapan untukk membantu warga FELDA. Warga FELDA waktu sekarang dengan harga sawit yang sedang menurun, kalau saya baca apa yang saya dapat maklumat lebih kurang RM260.00, RM250.00 harga dia. Mereka dah keberatan ekonomi mereka dan baru-baru ini dalam bajet Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada cadangkan nak menambahkan cukai tanah, saya tahu memang ia ikut, dia nak tengok keadaan tapi apa yang saya harapkan jangan kenakan pada waktu ini. Sebab harga sawit rendah sekarang ini. Mereka tak ada, ekonomi punca ekonomi mereka rendah. So, bila ekonomi mereka rendah, kita bebankan dia lagi dengan cukai, macam mana mereka nak bayar? Saya mengharapkan kerajaan tengok balik khususnya untuk warga FELDA bila nak kenakan cukai tanah ini.

Yang Berhormat Speaker, satu lagi isu mengenai pembentangan bajet ialah tentang titik fokus 9 iaitu Koperasi Komuniti Johor yang diberi peruntukan geran padanan berjumlah RM1 juta bagi mengukuhkan peranan koperasi dalam masyarakat. Apa sebenarnya dimaksudkan dengan Koperasi Komuniti Johor? Adakah ini merupakan koperasi baru? Apakah syarat-syarat atau kriteria untuk mendapatkan geran padanan tersebut?

Yang Berhormat Speaker, Koperasi Iskandar Malaysia Berhad yang telah ditubuhkan sejak November 2014 menjalankan perniagaan peruncitan yang disebut sebagai Kedai Harga Patut Muafakat Johor yang dijenamakan sebagai ImCoop. ImCoop berfokus kepada perniagaan runcit bertujuan untuk membantu meringankan kos sara hidup dengan memberikan harga yang patut kepada setiap pelanggan iaitu 3% lebih rendah daripada harga pasaran. Sehingga kini ImCoop telah mempunyai 24 outlet, 8 outlet milikan Koperasi Iskandar Malaysia Berhad, 14 outlet milikan koperasi asas yang menjadi anggota dan 2 outlet milikan persendirian. Apa yang saya nak timbulkan di sini ialah apakah pembaharuan yang akan dibuat kerajaan hari ini untuk menjayakan dan merancakkan lagi ImCoop terutama di kawasan luar bandar? Kita berharap tiada sebarang isu politik yang ditimbulkan kepada koperasi-koperasi yang beri perkhidmatan secara terus kepada rakyat. Sebab apa, saya lihat tiada sebarang bentuk mekanisme dan insentif khusus yang diberikan kepada ImCoop melalui ucapan bajet 2019. Itu yang saya harapkan, so ImCoop, apa insentif yang kerajaan akan lakukan untuk ImCoop?

Tambahan lagi Yang Berhormat Speaker, baru-baru ini bila rakyat ingat tol dah dimansuhkan, lebih ramai dah mula menggunakan Lebuhraya Utara Selatan. Bila dikatakan dah gunakan Lebuhraya Utara Selatan, jalan daripada Yong Peng ke Johor Bahru dan juga pada hujung minggu dan Johor Bahru menghala ke Yong Peng setiap hujung minggu, traffic jammed begitu ketara. Perjalanan yang mengambil masa sejam sekarang dah boleh ambil 2 jam lebih. Dan rakyat merana. Dahlah rakyat kena bayar tol lagi, trafik dia memang hebat. So, apa yang saya nak cadangkan seperti kerajaan Barisan Nasional yang dah letakkan dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional, harap kerajaan negeri dapat meningkatkan lorong dia. Dari 4 lorong kepada 6 lorong. Ini penting untuk rakyat. Ini bukan saya buat perbandingan, kerajaan Pakatan Harapan tak buat, tapi yang ini satu perkara yang penting untuk rakyat.

Highway dari 4 lorong patut jadi 6 lorong. Trafik setiap minggu hampir kebanyakan Yang Berhormat-Yang Berhormat menggunakan jalan tersebut. Dan saya pasti mereka pun merasakan trafik-trafik yang dilalui oleh rakyat. Dan saya tengok pada bajet 2019, Yang Berhormat Puan Speaker, adalah satu bajet yang di boleh katakan sebagai daripada Pengerusi Pembangkang iaitu satu bajet reclaim, rebrand dan repeat dan dalam masa ini juga saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Benut sebagai Pengerusi Pembangkang kerana ingin memulangkan balik insentif sebagai Ketua Pembangkang dan juga pejabat dia sebab apa yang dimaksudkan pembangkang tidak diberi iktiraf. Pengiktirafan tidak diberikan. Duduk di kerusi di pejabat sahaja bukan jadi pembangkang, patut diberi pengiktirafan mesyuarat Tindakan, mesyuarat Focus Group, tidak dijemput, ini bukan kita janji penggal lepas kita tak bagi, penggal lepas kita tidak pernah janji seperti kata Ketua Pembangkang, penggal ini dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan betul apa yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan, jalankan dia. Tak ada masalah, jalankan dia. Walk the talk,dengan izin.

Akhir kata Yang Berhormat Speaker, saya mengakhiri ucapan saya dengan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah meneruskan dan mengiktiraf projek dan program yang telah dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada bajet yang lepas. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 3 Disember 2018 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.