Johor · 3 December 2018

1st session, 3rd meeting · 195 turns · 31,418 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan selamat sejahtera. (Bacaan selawat). Alhamdulillah, kita akan teruskan lagi soalan-soalan lisan dan juga soalan tambahan pada pagi ini dan kita telah pada hari Khamis yang lepas sama-sama mendengar belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita. Belanjawan ini, bila bercakap tentang belanjawan, belanjawan teringat saya kepada satu kisah belanjawan Nabi Yusuf AS. Belanjawan itu lebih 3,000 tahun yang lalu, bukan sekarang, 3,000 tahun, lebih daripada 3,000 tahun yang lalu, yang memberi penekanan terhadap 7 tahun zaman membangun dan juga memperolehi kekayaan bumi Mesir sebagai satu persiapan untuk menghadapi 7 tahun zaman ataupun tahun-tahun kemelesetan. Period itu maksudnya 14 tahun. Ini bermakna bahawa semasa ekonomi di peringkat kemuncak kita juga harus menabung untuk merancang tahun-tahun kemelesetan selepas itu. Dan, tahun-tahun kemelesetan pula bukan akan berada sepanjang masa, tetapi ianya adalah sementara, sementara menunggu satu zaman kemuncaknya selepas itu. Itulah putaran kehidupan, kadang-kadang berada di atas, kadang-kadang berada di bawah. Ada tahun-tahun di peringkat kemuncak, ada tahun-tahun di peringkat sebaliknya.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berhormat Larkin, jemput.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Terima kasih Tuan Speaker. Soalan saya soalan nombor 1.

Kanak-kanak perlu diberikan pendidikan agar masa depan mereka cerah serta menjadi modal insan berguna. Namun, ramai juga di kalangan mereka (anak-anak gelandangan/jalanan) yang tercicir dan tidak mendapat pendidikan disebabkan permasalahan dokumentasi. Apakah inisiatif kerajaan agar anak-anak ini dapat menerima pendidikan?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Aminolhuda bin Haji HassanAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan · Parit Yaani

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Speaker, Ahli Yang Berhormat. Soalan kanak-kanak perlu diberikan pendidikan agar masa depan mereka cerah serta menjadi modal insan berguna. Namun ramai juga di kalangan mereka (anak-anak gelandangan/jalanan) yang tercicir dan tidak mendapat pendidikan disebabkan permasalahan dokumentasi. Apakah inisiatif kerajaan agar anak-anak ini dapat menerima pendidikan?

Berdasarkan kepada takrif kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ke-4 berkaitan dengan perkataan gelandangan, iaitu orang yang pekerjaannya atau tempat tinggalnya tidak tetap. Kita sedia maklum gelandangan menjadi satu masalah sosial kerana keadaan hidup golongan ini mendedahkan diri mereka kepada pelbagai gejala sosial yang mendatangkan kesan kepada semua lapisan masyarakat. Walau bagaimanapun, tidak wajar untuk kita menyalahkan mereka dalam menghadapi kehidupan seumpama ini kerana tiada seorang pun manusia yang berfikiran waras mahu menjalani kehidupan yang tidak menentu dan penuh kesengsaraan jika mereka mempunyai pilihan yang lebih baik.

Berdasarkan kepada pandangan ataupun soalan yang telah dikemukakan, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Dasar Pendidikan Wajib, Kementerian Pendidikan Malaysia berusaha untuk memastikan semua warganegara berumur dari 7 hingga 12 tahun wajib mendapatkan akses kepada kemudahan pendidikan yang disediakan. Justeru itu, untuk memastikan kanak-kanak yang menghadapi masalah dokumentasi, tidak tercicir dari pendidikan arus perdana, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberi kelonggaran melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 1/2009 bertarikh 11 Mac 2009 yakni kemasukan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen ke sekolah dengan syarat:

1. Mana-mana salah satu ibu atau bapa kanak-kanak tersebut adalah warganegara

Malaysia.

2. Surat pengesahan atau surat perakuan Ketua Kampung bahawa kanak-kanak tersebut adalah anak kepada warganegara Malaysia.

Jadi di sini, peranan ketua kampung, peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Penghulu yang hampir dengan masyarakat di peringkat bawah, perlu mengambil tindakan terhadap golongan yang dikatakan anak-anak gelandangan ataupun anak-anak jalanan ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sila.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat EXCO. Yang Berhormat Tuan Speaker, anak-anak yang menghadapi masalah dokumentasi bukan sahaja daripada golongan anak-anak gelandangan atau anak-anak jalanan sahaja. Terdapat juga anak-anak mereka yang sebenarnya mereka ini dia bukan warganegara dalam sijil lahir sebab masalah perkahwinan ibu bapa. Mereka dilahirkan sebelum apa ni, ibu bapa membuat pendaftaran perkahwinan dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Maka, mereka ini dalam status bukan warganegara dan mereka juga menghadapi masalah untuk apa ni, mendapat, berdaftar dengan Jabatan Pendidikan untuk apa ni, belajar di sekolah-sekolah dan sering kali kita juga mendapat maklum balas bahawa mereka perlu pergi Jabatan Pendidikan Daerah untuk mendapatkan borang dan seterusnya perlu pergi ke JB, Johor Bahru untuk berjumpa pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri lah supaya mendapat kelulusan daripada pegawai.

Maka masalah ini ialah kaedah ini memberi sedikit apa ni, kesukaran kepada ibu bapa sebab kebanyakan ibu bapa mereka perlu kerja dan mereka perlu pergi ke JB, satu apa ni, satu masalah dalam pengangkutan lah. So, saya ingin tanya, sama adakah kuasa untuk kelulusan daripada Pengarah Pendidikan Negeri boleh diturunkan kepada Pegawai Pendidikan Daerah untuk membuat keputusan, untuk meluluskan apa ni, pendaftaran anak-anak ini untuk belajar di sekolah. Ini saya mohon mungkin satu pencerahanlah atau mungkin pihak Jabatan Pendidikan boleh mengadakan satu apa ni, kaji semula kaedah ini. Saya mohon satu pencerahan berkenaan isu tersebut, terima kasih.

Speaker

Jemput.

Tuan Haji Aminolhuda bin Haji HassanAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan · Parit Yaani

Terima kasih kepada soalan tambahan yang dikemukakan oleh Jementah. Berdasarkan kepada prosedur permohonan, kalau kita lihat ibu bapa yang berkahwin mungkin dengan warga asing, yang menjadi masalah kerana sebelum berkahwin dia tak daftar, kalau orang Islam mungkin nikah di Thailand lah, ya, nikah di luar negara atau yang kalau bukan Muslim, dia mungkin tidak berdaftar. Jadi, masalahnya kalau kahwin kat luar boleh, pergi Johor Bahru tak boleh, masalah juga ye?

Baik, prosedur permohonan, permohonan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen ke sekolah kerajaan ataupun bantuan kerajaan hendaklah dipohon oleh ibu bapa atau bapa penjaga kanak-kanak berkenaan. Permohonan perlu melengkapkan borang permohonan yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan disertakan bersama-sama kad pengenalan ibu atau bapa atau penjaga yang telah disahkan. Makna, pengesahan daripada Ketua Kampung atau Penghulu tadi. Borang MWTD/SP1.1/2009 Borang Permohonan, Borang MWTD/PKK Borang Pengesahan Ketua Kampung, di mana semua permohonan yang telah lengkap hendaklah dikemukakan ke Jabatan Pendidikan Negeri bagi proses kelulusan dan penempatan kepada pemohon. Di mana kalau kita lihat kelulusan yang telah diberikan, kalau tak pun tanya saya pun beritahulah sebanyak 84 kelulusan penempatan telah dibuat daripada tarikh 1.1.2018 sehingga tarikh 31 Oktober, bulan 10 tahun ini. Jadi maknanya kelulusan itu akan diberikan berdasarkan kepada kesanggupan ibu bapa melihat bahawa ini peluang kepada anak-anaknya walaupun tanpa dokumentasi, tapi peluang kerajaan masih beri lagi untuk mereka terus belajar. Ini kerana ibu atau ayahnya adalah warganegara Malaysia. Ok, sekian.

Speaker

Larkin.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Terima kasih Tuan Speaker. Dari tarikh permohonan diterima, benar-benar berapa lama jangka masa yang akan diambil dan adakah sebarang bentuk kemudahan yang diberi demi memudahkan proses pendaftaran tersebut dan dengan lebih tepat lagi

jabatan mana yang betul-betul bertanggungjawab supaya tidak ada permasalahan bila mereka hadir ke kaunter pejabat berkenaan. Terima kasih.

Tuan Haji Aminolhuda bin Haji HassanAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan · Parit Yaani

Terima kasih kepada Larkin. Yang pertama sekali, kalau kita lihat bahawa tarikh ataupun tempoh proses. Bermakna sekiranya kita sedia maklum anak-anak tadi telah berusia nak masuk 6 tahun, sebab dasar kerajaan pada hari ini, pelajar nak masuk ke sekolah-sekolah masa umur 5 atau 6 tahun dah daftar dah sekolah mana pilihan ibu bapa. Jadi seandainya ibu bapa tadi prihatin terhadap pendidikan anak-anak walaupun mungkin anaknya kurang, tak ada dokumentasi, maka ibu bapa kena segeralah. Jangan dah berusia 7 tahun baru nak mendaftar, itu yang pertama. Yang kedua, borang boleh diambil daripada PPD di peringkat daerah masing-masing kerana borang itu berada di PPD jadi mudahlah untuk ibu bapa dapatkan borang.

Walau macam mana pun seperti mana tempoh yang dinyatakan, dipersoalkan tadi, seandainya usia 5 atau 6 tahun kita dah berusaha, maka insya-Allah tahun berikutnya, iaitu pada tahun ia kanak-kanak itu berumur 7 tahun, darjah 1, maka anak-anak itu akan ditempatkan oleh pihak jabatan melalui PPD di peringkat daerah untuk berdasarkan kepada alamat yang didapati. Cuma mungkin, bila kalau disebutkan tentang soalan awal tadi tentang gelandangan, yang selalunya menjadi kesukaran kepada pejabat daerah ataupun pihak sekolah kerana alamat kepada keluarga gelandangan ini tak tetap. Ini menjadi satu persoalan atau permasalahan kepada pihak pegawai-pegawai di PPD ataupun di peringkat jabatan bagaimana nak menghubungi mereka. Jadi ini satu masalah surat menyurat agak sukar. Walau macam mana pun, kerajaan akan terus membantu dan kerjasama daripada semua pihak khususnya di peringkat Ketua Kampung ataupun penghulu, di peringkat grass root yang paling bawah dapat memberikan kerjasama yang baik kepada mereka yang ingin mendapatkan pendidikan kepada anak-anak walaupun tanpa dokumentasi. Tapi, syarat yang utamanya salah seorangnya adalah dari warganegara Malaysia. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya. Yang Berhormat Tanjung Surat jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 2.

Banyak permohonan pinjaman perumahan untuk rumah mampu milik ditolak oleh bank. Antara sebab-sebabnya ialah tidak mempunyai penyata gaji/pendapatan, pekerjaan tidak tetap, tiada rekod pinjaman dan bermacam lagi. Apakah kerajaan negeri ada perancangan untuk membantu pemohon-pemohon berkenaan?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh Yang Berhormat Tuan Speaker dan Yang Berhormat sekalian. Terima kasih di atas soalan daripada Tanjung Surat.

Untuk makluman Dewan yang mulia, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap isu-isu pembiayaan bagi Perumahan Rakyat Johor atau sekarang dikenali sebagai Rumah Mampu Biaya. Kerajaan di antara tindakan ataupun langkah yang telah diambil oleh kerajaan adalah pertamanya bekerjasama dengan AmBank Islamic Berhad dengan memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta di bawah Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor ataupun ringkasnya SPRMMJ bagi memberi peluang kepada rakyat Johor untuk mendapatkan pembiayaan.

Di samping tersebut, kerajaan negeri telah juga mendepositkan sebanyak RM10 juta sebagai jaminan sekiranya berlaku non-performing loan dengan izin ataupun kegagalan pemohon untuk membayar ansuran bulanan pembiayaan tersebut yang diberikan oleh pihak AmBank Islamic Berhad. Dengan kata lain, pinjaman di bawah AmBank Islamic Berhad ini adalah dijamin oleh pihak kerajaan.

Mana-mana bakal pembeli yang telah gagal mendapatkan pembiayaan dari bank-bank komersil, mereka diberi peluang kedua untuk mendapatkan pembiayaan melalui skim ini. Walau bagaimanapun, pemohon mestilah tidak di senarai hitam dari Bank Negara Malaysia serta lahir di negeri Johor.

Untuk makluman juga, kerajaan telah memudahkan cara permohonan untuk menyertai skim ini. Bakal pembeli hanya perlu memohon secara atas talian melalui website e-rumah.johor.gov.my.

Berikut disertakan ringkasan permohonan di bawah Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor bersama dengan AmBank Islamic Berhad bermula daripada Januari 2017 sehingga Oktober 2018 iaitu selama 21 bulan, terdapat hanya 57 permohonan yang telah diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM9.7 juta. Average ataupun purata dengan izin sebanyak 3 kes permohonan diluluskan setiap bulan. Baki dana pinjaman di dalam AmBank Islamic masih berbaki RM290,300,000.00.

Walau bagaimanapun, terdapat juga permohonan di bawah skim ini yang ditolak disebabkan faktor komitmen pemohon yang tinggi (melebihi kadar komitmen 60% ataupun debt service ratio dengan izin, yang ditetapkan oleh Polisi Bank Negara Malaysia bagi golongan B40, akaun dalam pemerhatian, bukti pendapatan tidak mencukupi, pelanggan tidak dapat dihubungi dan tiada rekod pinjaman sebelum daripada ini.

Yang kedua adalah melalui skim sewa beli ataupun rent to own dengan izin. Kerajaan juga memberi alternatif lain untuk membantu rakyat Johor memiliki rumah kerajaan. Kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta pada tahun 2018 dan juga RM20 juta pada tahun 2017 untuk skim sewa beli. Skim ini diuruskan oleh syarikat Generasi Takzim Sdn. Bhd. Syarikat ini merupakan anak syarikat kepada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang merupakan GLC bagi negeri Johor. Bakal pembeli hanya boleh memohon projek yang disenaraikan sahaja dan akan diberi tempoh percubaan penyewaan selama 2 hingga 5 tahun sebelum tawaran pembelian akan diberi. Dari jumlah bayaran sewaan dikenakan, 50% daripada jumlah itu akan dijadikan sebagai tabungan kepada bakal pembeli untuk dijadikan sebagai wang pendahuluan bagi rumah yang mereka akan beli kemudiannya. Dan setakat ini, kita mempunyai bilangan rumah yang di senarai di bawah skim ini sebanyak 5,423 unit.

Yang ketiga, kelonggaran Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR). Pihak SUK Perumahan juga memberikan kelonggaran kepada penerima Sijil Layak Memiliki Rumah ataupun ringkasnya SLMR untuk membuat pinjaman bersama ataupun jaminan, sekiranya pemegang SLMR tadi tidak layak membuat pinjaman secara persendirian. Walau bagaimanapun, pinjaman bersama ataupun penjamin ini hanya dibenarkan dengan keluarga terdekat iaitu suami atau isteri dan ibu atau bapa sendiri, bagi mengelakkan kelonggaran ini di manipulasi untuk kepentingan tertentu pemegang SLMR.

Yang keempat, simpanan melalui Program Perumahan Rakyat ataupun ringkasnya PPR. Pihak SUK Perumahan di peringkat perundingan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengemukakan cadangan supaya sewa PPR yang baru siap seperti PPR Melana Fasa 2 dan juga PPR Bandar Uda Utama dinaikkan sewa kepada RM250.00 sebulan daripada kebiasaannya RM124.00 di mana 50% bayaran sewaan itu akan dikembalikan semula kepada penyewa selepas tempoh sewaan tamat. Bayaran sewa yang dikembalikan ini juga merupakan tabungan boleh digunakan sebagai deposit bagi membeli rumah mereka nanti setelah tempoh sewaan mereka tamat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi penyelesaian jangka masa panjang, rakyat khususnya daripada golongan B40 perlu didedahkan dengan ilmu perancangan kewangan atau ringkasnya financial planning dengan izin terutama dalam meningkatkan kelayakan kredit ataupun credit worthiness dengan izin antaranya dengan menyediakan rekod pendapatan, walaupun pendapatan tidak tetap melalui transaksi di bank supaya pengukuran kelayakan kredit mereka mudah ditentukan oleh pihak bank atau institusi kewangan bila permohonan pinjaman dibuat nanti.

Sekian Tuan Speaker.

Speaker

Tanjung Surat jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada EXCO yang menjawab. Sistem ataupun inisiatif rumah sewa beli ini seperti diberitahu oleh EXCO jangka sewanya 2 hingga 5 tahun ya? Jadi, apa yang saya ingin tahu, kriteria apa digunakan ataupun ciri-ciri apa kalau kata 2 tahun rumah ini jenis ini ataupun rumah di kawasan ini 4 tahun aje, 3 tahun aje atau bagaimana? Saya minta pencerahan dari EXCO. Terima kasih.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagaimana saya telah terangkan tadi bahawa skim sewa beli ini sekarang ini adalah berdasar kepada senarai rumah ataupun kediaman yang terdapat di dalam website KPRJ di bawah

Syarikat Generasi Darul Takzim. Makna dia, pembeli hanya boleh memilih hartanah yang disenaraikan tersebut kerana kita masih di peringkat awal penubuhan skim sewa beli. Dan harga hartanah kebiasaannya average ataupun puratanya adalah RM150,000 ke bawah. Terdapat juga hartanah yang melebihi daripada harga tersebut yang kerajaan perolehi secara in-kind ataupun pulangan berdasarkan kepada projek penswastaan yang telah diluluskan oleh pihak Kerajaan sebelum daripada ini. Pemilihan sama ada tempoh sewaan 2 tahun ke-5 tahun itu adalah merupakan option, pilihan yang akan diberikan kepada penyewa. Jika sekiranya penyewa merasakan mereka telah mempunyai dana yang mencukupi 10% pada tahun kedua, ketiga dan maksimumnya 5 tahun, mereka boleh untuk menukar sewaan tu menjadi kepada option atau pilihan perjanjian jual beli.

Speaker

Bukit Permai.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin pencerahan daripada Yang Berhormat EXCO, bagaimanakah nasib pembeli-pembeli rumah yang projek terbengkalai, yang terpaksa menanggung hutang seperti contohnya perumahan Taman Permata Impian Kulai yang telah 30 tahun Yang Berhormat Tuan Speaker menanggung beban hutang ini. Terima kasih.

Speaker

30 tahun tu zaman BN dululah?

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Ya saya. Sampai sekarang rumah tu dah jadi rumah pontianak dah. Tak siap lagi projeknya, rakyat makin menderita, sampai sekarang bayar lagi hutang bank. Terima kasih.

Speaker

Habis yang pontianak tu macam mana nak uruskan? (Dewan ketawa). Jemput YB EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih Bukit Permai. Soalan tu dah lari tu tapi sebab saya pagi ini pepagi ni bermurah hati, boleh jugalah tolong jawab...

Speaker

Tetapi yang pontianak tu tak payah jawablah.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Ah itu tak apa, tu terserah kepada apa nama... pakar-pakar perawat Islam (Dewan ketawa).

Sebenarnya dalam perumahan, terdapat 2 kategori yang berbeza. Pertama disebut sebagai rumah ataupun perumahan sakit. Yang kedua adalah perumahan terbengkalai.

Perumahan terbengkalai ini adalah kebiasaannya pemaju telah tidak berupaya untuk meneruskan projek ataupun tindakan mahkamah telah diambil kepada mereka ataupun mereka telah dimufliskan melalui Insolvensi. Dan kebiasaan kes-kes ini diletakkan di bawah penyeliaan Jabatan Perumahan Negara di bawah KPKT.

Ada pun yang jenis kedua adalah rumah, perumahan sakit. Perumahan sakit ini masih pemaju dia masih boleh berjalan, dia macam semput-semputlah, ICU tapi belum mati. Maknanya dia boleh diselamatkan sekiranya CPU dilakukan dengan segera. Apa yang kerajaan negeri boleh terlibat khususnya adalah projek-projek sakit, di mana pemajunya masih lagi beroperasi ataupun masih lagi ada, walaupun menghadapi beberapa masalah kewangan dan juga kadangkala tindakan mahkamah daripada subkontraktor. Tetapi kerajaan negeri mempunyai ruang yang lebih luas untuk membantu projek-projek sakit ini untuk di baik pulih.

Dan setakat ini, untuk perhatian Dewan yang mulia, kerajaan negeri dalam proses memulihkan projek iaitu di Setia Indah yang dijalankan oleh YN Properties di mana kita meminta kerjasama daripada GLC kita KPRJ untuk menjadi kontraktor bagi menyiapkan projek tersebut. Dan sekiranya projek tersebut adalah merupakan projek terbengkalai di bawah JPN, kita juga kerajaan negeri di bawah portfolio saya akan bekerjasama dengan JPN untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan kebiasaannya white net dengan izin ataupun pemaju penyelamat akan dilantik oleh pihak JPN ataupun oleh pihak Insolvensi sekiranya syarikat pemaju itu telah dimufliskan. Dan kemudian pihak kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pemaju penyelamat ini bagi memastikan projek tersebut dapat diselesaikan sebagaimana yang dijadualkan. Terima kasih.

Speaker

Larkin jemput.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Biasa dalam permohonan untuk peminjam perumahan, dokumen seperti slip gaji dan apa bentuk pendapatan yang dikemukakan kepada bank, bank akan buat satu credit evaluation. Yang mana yang disebut oleh YB EXCO tadi, debt service ratio. Debt service ratio ini capping dia 75% yang mana pendapatan kita, keseluruhannya hutang kita 75% tidak boleh lebih dan baki 25% untuk kita belanja untuk menyara hidup kita. Tapi dalam situasi ini, yang mana kita maklum pinjaman seperti ini dijamin oleh pihak kerajaan. Sepatutnya dokumentasi ini bukan jadi satu, maksud saya evidence of income dengan izin, bukan dijadikan satu keutamaan untuk meluluskan pinjaman perumahan mereka. Jadi yang debt service ratio tu daripada 75% sepatut dilonggarkan naik kepada 85%. Sebab apa pinjaman ini adalah pinjaman yang ada cagaran ada kolateral dan tidak boleh disamakan dengan pinjaman yang biasa. Dia adalah satu pinjaman yang dijamin penuh oleh kerajaan, mungkin kita dapat longgarkan perkara ini dan mungkin dapat pihak AmBank melonggarkan dan memberi satu keistimewaan dengan cara pre-approved system. Terima kasih.

Speaker

Soalan dia apa YB?

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Soalan saya tadi kenapa mesti pihak bank mengamalkan kredit assessment yang sama dengan peminjam-peminjam yang lain. Itu soalan saya. Yang mana pinjaman ini dijamin oleh kerajaan sepenuhnya.

Speaker

Ok, jemput EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih kepada Larkin. Sebagaimana disebut oleh Larkin sebentar tadi, kebanyakan bank di atas arahan daripada Bank Negara menggunakan debt service ratio, dengan izin sebagai panduan di dalam memberikan pinjaman kepada pemohon. Tujuan debt service ratio ini, dengan izin adalah untuk memastikan bahawa pinjaman yang diberikan oleh pihak bank ini mampu dibiayai atau mampu dibayar kembali oleh pihak pemohon. Kerana bank secara dasarnya adalah merupakan benteng ekonomi utama kepada negara kita.

Adapun dalam kes Arab Malaysian AmBank Islamic Berhad, kita telah pun mengadakan beberapa kali perundingan dalam sebulan dua yang lepas di mana mereka juga menggunakan caping event lebih rendah market 60% debt service ratio. Tinggal lagi beberapa kes yang mereka rasakan perlu pertimbangan semula kepada pihak jawatankuasa akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dan insya-Allah dalam pertimbangan tersebut kita memberikan kelonggaran kepada beberapa kes yang dirujuk kepada kita untuk pertimbangan dan kebiasaan kita akan memberikan kelonggaran melebihi daripada 60% capping debt service ratio ditunjukkan oleh AMBank Islamic. Dan, kerajaan negeri juga telah mempertimbangkan kemungkinan mengkaji semula komitmen daripada AMBank Islamic Berhad kerana setakat ini sebagaimana saya sebutkan tadi semenjak daripada Januari 2017, hanya 57 kes sahaja diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM9.7juta. Sedangkan kita telah meletakkan deposit sebanyak RM300 juta, masih berbaki sebanyak RM290 juta yang belum digunakan untuk tujuan pemberian pinjaman khusus kepada Rumah Mampu Biaya Negeri Johor. Insya-Allah kerajaan negeri akan memantau perkara ini dan jika ada keperluan untuk kita berkongsi sama tentang pakej ini, bukan sahaja kepada AMBank Islamic Berhad tetapi juga kemungkinan kita akan membuat tawaran juga kepada bank-bank yang lain yang terdapat dalam negara kita. Sekian, Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Terima kasih YB EXCO. Untuk pengetahuan semua, kita, bersama kita di tempat duduk pelawat terdapat pelajar-pelajar Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di bawah kelolaan IKHLAS seramai 37 orang. Selamat datang kepada semua. (Dewan bertepuk). Seterusnya saya jemput Bukit Naning.

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Terima kasih Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 3.

Berapakah jumlah koperasi yang aktif dalam memainkan peranan mereka bersama masyarakat negeri Johor?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Bukit Naning atas soalan yang telah diajukan. Untuk persoalan yang telah dibangkitkan, untuk makluman sehingga November 2018 terdapat sebanyak 1,390 buah koperasi berdaftar di negeri Johor. Jika kita lihat pada akhir 2017, menerusi perangkaan gerakan koperasi negeri Johor 2017, jumlahnya pada asalnya ialah 1,370. Maknanya di akhir ataupun pada November 2018 peningkatan sebanyak 20 koperasi yang berdaftar di negeri Johor. Daripada jumlah tersebut, 88.54% atau sebanyak 1,231 buah daripadanya adalah koperasi yang aktif dan mempunyai aktiviti perniagaan yang boleh menjana pendapatan dan boleh membayar dividen kepada anggotanya. Manakala bakinya berjumlah 159 koperasi adalah koperasi yang tidak aktif dan keanggotaan bagi 1,231 koperasi yang aktif tadi adalah seramai 399,358 orang anggota.

Untuk makluman juga, antara sebab utama koperasi tidak aktif iaitu sebanyak 159 koperasi tadi ada 3 faktor yang utama iaitu :

1. Koperasi ini tiada sebarang aktiviti perniagaan lagi pada masa kini. 2. Koperasi yang gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dan lebih daripada 3 tahun tidak ada mesyuarat agung tahunan. 3. Koperasi yang akaunnya tidak diaudit melebihi daripada 3 tahun menyebabkan 159 koperasi tadi dikelaskan sebagai koperasi tidak aktif.

Terima kasih.

Speaker

Jemput, Bukit Naning.

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Terima kasih Yang Berhormat EXCO kerana telah menjawab dengan baik.

Tuan Speaker, koperasi adalah satu pertubuhan yang matlamatnya adalah untuk meningkatkan ekonomi anggota-anggotanya mengikut prinsip-prinsip koperasi. Dengan penubuhan koperasi juga dapat membantu masyarakat melalui tanggungjawab sosial dan sebagainya. Soalan saya Tuan Speaker, adakah sebarang perancangan untuk membuka ruang yang lebih luas bagi pergerakan koperasi di negeri Johor? Terima kasih.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Terima kasih Bukit Naning. Tuan Speaker, bagi persoalan yang telah diajukan sebentar tadi, ya kerajaan negeri komited untuk meneruskan dan memastikan koperasi-koperasi ini terus aktif dan ada ruang dan peluang baru untuk perniagaan buat mereka. Dan, sepertimana yang kita ketahui menerusi juga maklumat daripada data-data daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia iaitu 29% koperasi-koperasi di Johor ini dia terlibat dalam bidang perkhidmatan, diikuti dengan 34% bidang kepenggunaan dan 21% dalam bidang pertanian. Ini maklumat asas. Jadi, berdasarkan kepada pecahan ataupun angka-angka yang saya berikan tadi, maka kerajaan negeri akan memastikan fokus ini dapat kita bantu koperasi-koperasi yang wujud di negeri Johor. Dan, sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih kuasa di negeri Johor di peringkat koperasi kita telah menilai ataupun melihat semula apakah pelan-pelan yang telah wujud ataupun kerangka pelan yang telah wujud untuk membangunkan koperasi. Dan, di sana wujud kerangka Pelan Strategik Pembangunan Koperasi negeri Johor untuk tempoh tahun 2017 sehingga tahun 2021. Dan, jika kita sandarkan kepada persoalan tadi, apakah di sana ada pelan ataupun perancangan di peringkat koperasi negeri Johor untuk membuka peluang yang lebih, peringkat kerajaan negeri kita mengguna juga kerangka Pelan Strategik Pembangunan Koperasi negeri Johor ini untuk menjadi asas kita melebarkan lagi potensi koperasi-koperasi di negeri Johor.

Suka saya memetik dalam kerangka pelan ini ada 5 inisiatif strategik untuk memberi ruang dan peluang kepada koperasi negeri Johor :

1. Inisiatif yang kita ingin sasarkan ialah kita ingin merangsang penglibatan koperasi dalam sektor ekonomi yang berimpak tinggi, high end dengan izin, dari segi koperasi yang terlibat dengan perumahan, dengan sektor hartanah dan sebagainya.

2. Inisiatif strategik yang kedua iaitu kita ingin memantapkan profesionalisme dalam pengurusan dan berorientasikan keusahawanan. Maknanya kita nak pastikan koperasi-koperasi ini bila dia menjalankan perniagaan, dia menjalankan dengan profesional kerana perjalanan koperasi

yang tidak ada nilai profesionalisme ini akhirnya dia akan terperangkap dan menjadi koperasi yang tidak aktif. Contohnya apabila permasalahan dari segi auditan dan sebagainya.

3. Inisiatif strategik juga yang ingin digariskan ialah memperkukuhkan keupayaan modal dalam pembangunan perniagaan. So, modal menjadi satu faktor ataupun perkara yang dititikberatkan juga kerana kebanyakannya di peringkat keusahawanan ataupun keusahawanan yang dibangunkan oleh koperasi sememangnya modal ini menjadi satu isu yang mesti diatasi.

4. Kita ingin memastikan supaya koperasi ini dapat berperanan dengan aktif untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Bermaksud apabila koperasi menjalankan sesuatu perniagaan kita ingin pastikan perniagaan ini boleh memberi impak juga kepada masyarakat ataupun kepada rakyat setempat.

5. Kita ingin meningkatkan akses kepada pasaran iaitu kita di peringkat kerajaan negeri ingin membantu koperasi untuk mengembangkan, mendapatkan market, dengan izin, ataupun pasaran yang lebih luas kepada perniagaan koperasi-koperasi.

So, ini adalah kerangka pelan strategik pembangunan koperasi negeri Johor untuk tahun 2017 dan sehingga 2021 dan kita harap dengan rangka ini dapat menjawab persoalan yang diutarakan oleh Bukit Naning iaitu ruang dan peluang ataupun inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengembangkan atau memperkasakan potensi koperasi-koperasi di negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya. Dijemput Yang Berhormat Senai.

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Terima kasih Tuan Speaker, soalan saya nombor 4.

Apakah rasional PBT membenarkan penganjur mengenakan bayaran berlebihan terhadap penjaja di pasar lambak?

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih soalan daripada Yang Berhormat Senai.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri Johor merupakan kerajaan Pakatan Harapan yang pertama dan mungkin satu-satunya kerajaan yang telah berjaya menunaikan manifesto Pakatan Harapan dalam PRU yang ke-14 iaitu kami telah, kita telah menunaikan 10 janji dalam 100 hari. Antaranya, kerajaan negeri Johor telah bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran lesen penjaja bagi semua penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di pasar malam, pasar sehari atau pasar pagi, penjaja bergerak dan penjaja statik berkuat kuasa pada 1 September 2018.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pengurusan pasar lambak di dalam kawasan PBT adalah diuruskan oleh PBT itu sendiri atau melantik pihak luar sebagai penganjur yang bertujuan untuk memudahkan Pihak Berkuasa Tempatan mengawal dan memantau peniaga di lokasi pasar lambak. Untuk makluman, bagi PBT yang menganjurkan sendiri pasar lambak tersebut, setiap-setiap penjaja pasar lambak hanya dikenakan caj pelupusan sampah sebanyak RM1.00 dan caj sewa tapak sebanyak RM2.00. Manakala bagi PBT yang melantik pihak luar sebagai penganjur, kebenaran bagi penganjuran pasar malam, pasar pagi atau pasar sehari juga membenarkan kutipan caj pengurusan sampah yang munasabah dan ditetapkan yang boleh dikenakan kepada penjaja. Kebersihan tapak penganjuran pasar lambak adalah di bawah tanggungjawab pihak penganjur sepenuhnya dan segala sampah perlu di kumpul di satu tempat yang telah dikhaskan oleh SWM Environment atau melalui kutipan oleh kerja kontrak sampah yang dilantik sendiri oleh penganjur.

Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan juga mengenakan syarat supaya penganjur melaksanakan kerja-kerja mengecat semula tapak niaga sekurang-kurangnya 4 kali setahun atau sekiranya cat petak telah pudar. Sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat, kerajaan mengetahui peniaga-peniaga di pasar banyak ialah berniaga modal kecil dan kewujudan pasar ialah membantu peniaga kecil. Oleh itu Pihak Berkuasa Tempatan tidak pernah mengenakan sebarang syarat atau panduan kepada penganjur dalam caj lain yang ingin dikenakan antaranya bagi tujuan penyediaan tawaran keselamatan atau RELA dan juga sewa tapak. Antara tujuan untuk memberikan pengecualian bayaran lesen penjaja ni adalah untuk membantu meringankan beban para penjaja sekiranya terdapat caj berlebihan ataupun terlampau yang dikenakan kepada penjaja ianya telah bercanggah

dengan hasrat kerajaan memberikan pengecualian tersebut atau dengan izin, tindakan ni telah defeat the purpose.

Justeru kerajaan negeri menyeru kepada semua penjaja yang dikenakan bayaran penyewaan yang tinggi supaya membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dapat mengkaji kes-kes tersebut dan mengambil tindakan terhadap penganjur. Semua Pihak Berkuasa Tempatan juga akan mengkaji semula kontrak yang telah diberikan kepada penganjur dan mengemas kini data pada tahun akan datang. Dan, Pihak Berkuasa Tempatan juga akan menetapkan kadar maksimum untuk setiap pasar lambak. Pihak penganjur perlu ikut harga yang ditetapkan. Sesiapa yang didapati tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, kontrak penganjur akan dibatalkan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Senai, jemput.

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Soalan tambahan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kat kawasan Kulai sini, 100%, 20 pasar lambak sudah diserah kepada penganjur luar. Adakah kerajaan ni akan mengambil alih lesen atau permit kebenaran daripada penganjur luar? Ini tidak masuk apa ni, bazar Tahun Baru Cina, bazar Deepavali, bazar Ramadhan. Saya dapat aduan banyak-banyak yang sewa tapak dia dapat sewa, dia sub, sub kepada yang penyewa lain. Akhirnya, satu tapak boleh sampai RM700.00 hingga RM1,400.00. Itu dah serius. Adakah kerajaan akan mengambil alih lesen atau kebenaran tersebut?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Senai. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, di seluruh negeri Johor, terdapat 99 tapak pasar lambak yang dianjurkan oleh penganjur pihak luar. Antaranya, penganjur yang dilantik adalah merupakan NGO-NGO ataupun persatuan-persatuan. Hasrat atau tujuan Pihak Berkuasa Tempatan membenarkan penganjur dari luar yang merupakan NGO-NGO ini adalah dengan hasrat atau niat untuk membantu NGO-NGO tersebut tetapi bukan untuk membenarkan pihak-pihak berkenaan untuk mengaut keuntungan yang terlampau. Jadi, kerajaan sekarang sedang membuat kajian tentang isu ini. Sebenarnya bukan semua penganjur luar yang mengenakan bayaran berlebihan kepada peniaga, kekurangan tenaga kerja dari pihak berkuasa tempatan juga merupakan salah satu masalah untuk memantau pengurusan pasar seharian. Akibatnya, ia menyebabkan pengurusan perkhidmatan kebersihan dan perkhidmatan pemungutan sampah pasar akan terjejas. Justeru, bayaran sewa tertentu kepada peniaga dari penganjur akan membantu Pihak Berkuasa Tempatan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga.

Walau bagaimanapun, bayaran sewa kepada peniaga dari penganjur tidak boleh melampau seperti yang saya sebut tadi. Kerajaan negeri menyeru kepada semua peniaga sekali lagi, sekiranya dikenakan bayaran penyewaan yang tinggi, membuat aduan kepada PBT ataupun boleh terus membuat aduan kepada saya supaya PBT dapat mengkaji kes tersebut dan mengambil tindakan. Tidak sekali-sekali Pihak Berkuasa Tempatan ataupun kerajaan negeri akan kompromi dengan tindakan mengenakan caj melampau ini. Saya di sini, saya ingin menghantar satu mesej yang begitu jelas supaya sesiapa penjaja yang dikenakan caj terlampau sila memberikan maklumat kepada kita supaya kita boleh mengambil tindakan terhadap penganjur tersebut.

Speaker

Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Tangkak ingin tanya berdasar daripada jawapan Yang Berhormat EXCO tadi, di seluruh negeri Johor terdapat 99 pasar lambak yang telah diserah oleh PBT kepada NGO atau persatuan atas dasar ingin membantu mereka dan juga dapat mengurangkan beban penguatkuasaan atau pemantauan terhadap PBT. Jadi, Tangkak ingin meminta Yang Berhormat EXCO, boleh tak memberikan statistik antara 99 penganjur ini mengikut pecahan PBT. Dan satu lagi, kita faham kekurangan kakitangan ataupun Unit Penguatkuasaan bagi memantau pasar-pasar lambak yang dianjur oleh penganjur ini. Tetapi, berdasarkan, menurut jawapan juga daripada YB EXCO tadi, kalau pasar lambak yang terus bawah PBT, caj pembersihan cuma RM1.00, sewa petak cuma RM2.00, iaitu RM3.00. Kalau kita tengok balik aduan yang diterima oleh Yang Berhormat Senai, sewanya sehingga, bulanan RM600.00 sehingga RM1,400.00. Ini dah terlalu melampau dan saya rasa mengenai dengan, ya kita faham penganjur akan tolong untuk mengawal keselamatan tapi dari segi pembersihan, memandangkan pembersihan, kerja-kerja pembersihan ini di bawah PBT memang telah ada kontraktor yang telah

dilantik iaitu SWM. Jadi, di pasar lambak ini juga saya ambil contoh di kawasan, di daerah Tangkak ataupun di tempat kebanyakan tempat, pasar-pasar lambak ini, sampahnya akan dikutip atau kerja-kerja pembersihan akan diuruskan oleh kontraktor. Jadi,

Speaker

Soalannya YB? Soalannya?

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Jadi, soalan saya, saya nak minta EXCO supaya memberikan statistik penganjur ini mengikut PBT. Sekian, terima kasih.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Tuan Speaker dan juga Yang Berhormat Tangkak. Soalan dia singkat, tapi huraiannya panjang.

Speaker

Dia tiru YB EXCO jugalah. (Dewan ketawa).

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Itu dulu. Ini Speaker kita suka bongkar rahsia. Jangan, tak baik.

Speaker

Realiti.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Yang Berhormat Tuan Speaker. Jawapan dia sebenarnya pendek, tapi saya nak hurai panjang-panjang. Sebenarnya, kebanyakan PBT yang melantik penganjur dari luar adalah PBT-PBT yang berada di sekitar Johor Bahru, iaitu MPPG, 5; Kulai, 20; Pontian, 1; Pengerang, 1; dan MBJB, 61.

Dan berkenaan dengan isu, tadi Tangkak ada sebut adalah mengapakah caj sampah ataupun pengurusan sampah yang dikenakan oleh PBT jauh lebih rendah kalau berbanding dengan caj yang dikenakan oleh penganjur? Di sini, kontraktor yang terlibat adalah orang yang berlainan, pihak yang berlainan, iaitu, untuk PBT kontraktor yang dilantik adalah SWM dan SWM sebenarnya menjalankan kerja-kerja ni atas CSR. Untuk penganjur-penganjur yang lain, mereka terpaksa melantik kontraktor sendiri. Itu yang menyebabkan kadar caj pengurusan sampah yang berbeza nampak ketara. Tapi itulah sebab wujudnya perbezaan tersebut.

Jadi, berkenaan dengan prestasi sekiranya pengurusan pasar-pasar lambak ini dijalankan oleh PBT sendiri, adakah ianya lebih baik? Sebenarnya, ini tidak ada satu jawapan yang tetap. Kita perlu faham bahawa PBT ada juga kerja-kerja teras dia, kerja-kerja hakikinya. Di mana penganjuran pasar-pasar lambak ini juga hanyalah sebahagian daripada CSR. PBT untuk membantu peniaga-peniaga kecil supaya mereka dapat memulakan perniagaan dari modal yang kecil. Tetapi, sekiranya kesemua pasar lambak ini dianjurkan oleh PBT sendiri, ianya akan melibatkan tenaga kerja yang mungkin menambahkan perbelanjaan pengurusan PBT. Maka, perkara ini akan diperhalusi. Yang penting, kita berpegang kepada prinsip bahawa penganjuran pasar lambak ini adalah bertujuan untuk membantu peniaga-peniaga kecil tetapi bukan untuk membebankan peniaga-peniaga kecil. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput Benut.

Terima kasih Tuan Speaker. Tahniah Yang Berhormat EXCO. Namanya pun pasar lambak. Jadi, pada pandangan Yang Berhormat apa agaknya Yang Berhormat faham tentang pasar lambak ni? Lambak, longgok? Adakah Yang Berhormat nak tukar nama pasar longgok ke. Saya cadangkan Yang Berhormat, mungkin kerajaan boleh fikirkan satu jenama baru, penjenamaan semula kerana Yang Berhormat begitu garang sekali, Yang Berhormat nak pantau perjanjian, kalau tidak Yang Berhormat nak kenakan tindakan kepada anu. Jadi, saya nak bertanya adakah, pertama, sebelum nak kenakan tindakan kepada pengusaha pasar lambak, apakah pandangan Yang Berhormat untuk penambahbaikan kepada pengusaha ataupun penganjur pasar lambak ni supaya hasrat Yang Berhormat itu, saya nak bantu, supaya hasrat Yang Berhormat tu untuk mengenakan tindakan kerana mereka mengenakan sewaan yang berlebihan.

Jadi, pertama Yang Berhormat rasa apa penambahbaikan boleh buat supaya mengelakkan penganjur ini melakukan perkara-perkara yang berlebihan. Kedua, apa yang parameter Yang Berhormat nak tetapkan supaya tercapai matlamat Yang Berhormat untuk jangan penganjur ini berlebihan dalam pengenaan kenaan bayaran itu. Baik Yang Berhormat, terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Jemput Yang Berhormat EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Benut. Yang Berhormat Benut suka sangat istilah rebranding baru-baru ini. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, setakat ni, kerajaan tak ada rancangan ataupun cadangan untuk buat rebranding kepada pasar-pasar lambak ini. Seperti yang kita selalu tekankan, apa yang baik kita teruskan, apa yang tidak baik kita hindarkan. Berkenaan dengan isu yang disentuh oleh Yang Berhormat Benut tadi, iaitu berkenaan dengan bagaimana mechanism untuk tambah baik. Sebenarnya, kita perlu lihat apakah fungsi ataupun peranan pasar-pasar lambak ini. Kalau kita lihat dulu pasar lambak ni merupakan tempat perbelanjaan ataupun satu tempat penduduk setempat untuk mendapatkan barangan pada harga yang lebih murah. Itu adalah fungsi asal pasar-pasar lambak ni. Dan, saya yakin bahawa Ahli-Ahli dalam Dewan yang mulia ini ,ada nostalgia terhadap pasar-pasar lambak ni. Di mana ianya merupakan satu aktiviti keluarga mingguan.

Namun begitu, perkembangan terbaru menunjukkan bahawa sebenarnya fungsi untuk membekalkan barangan murah oleh pasar-pasar lambak ni semakin luntur. Di mana ianya hanya tinggal sekiranya ada tempat untuk aktiviti sekeluarga, di mana untuk membawa seisi keluarga untuk menjamu selera ataupun membeli belah, berjalan-jalan di pasar lambak. Tapi, kalau kata dari segi harga mungkin lebih kurang sama ataupun kadang kala tidak boleh setanding dengan harga yang ditawarkan di hyper-hyper market. Itu perlu kita akui bahawa hakikat apa yang ada sekarang dan apa yang lebih diperhatikan adalah kadang kala pasar-pasar lambak ini merupakan tempat membeli belah warga-warga asing terutamanya mereka yang bekerja pendapatannya tak begitu tinggi.

Dan, ini telah menunjukkan bahawa sampailah masa untuk kita memikirkan sama ada adakah keperluan untuk kita mengekalkan pasar lambak ini? Dan, sebenarnya kerajaan berpendapat bahawa ada juga tarikan lain ataupun peranan fungsi yang lain yang boleh kita tambahkan kepada pasar-pasar lambak ini. Sebagai contoh, pasar-pasar lambak yang berjaya sebenarnya boleh dijadikan satu tarikan pelancong seperti mana yang kita perhatikan di negara-negara luar. Maka, perkara itu akan dikaji dan mungkin kita akan wujudkan beberapa pasar lambak, pasar malam yang merupakan menjadikan fokus dan ianya akan menjadi satu tempat tumpuan pelancong. Ini antara peranan ataupun fungsi tambahan yang boleh kita fikirkan untuk pasar-pasar lambak ini.

Dan untuk isu caj berlebihan itu, sebenarnya saya nak cakap macam mana, sebab apabila kita lihat balik penganjur-penganjur yang terlibat, tidak kurang juga yang berkaitan dengan politik, walaupun ianya bukan dianjurkan atas nama parti politik. Tapi sedia maklumlah antara pemimpin-pemimpin ini ada juga yang pakai 2, 3 topi, dia orang tukar-tukar topi. Jadi mereka menggunakan nama NGO untuk menganjurkan pasar-pasar lambak ini. Jadi saya minta Yang Berhormat Benut kalau boleh nasihatkanlah anak buah Yang Berhormat Benut supaya jagalah kebajikan penjaja-penjaja ini, janganlah kenakan caj yang berlebihan.

Speaker

Bermakna penganjur penjaja itu ahli UMNO eh?

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Saya tak bercakap begitu (ketawa) tapi mereka ada 2, 3 topilah sedia maklum. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ok. Seterusnya Yang Berhormat Sri Medan, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 5.

Pencapaian atlet Johor di SUKMA Perak amat membanggakan hasil pelan atau program jangka masa panjang MSN. Adakah pihak Kerajaan Negeri mempunyai perancangan atau program meningkatkan prestasi untuk acara-acara sukan popular di Johor seperti acara pecut, sepak takraw. Nyatakan program-program tersebut.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd. Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Sri Medan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah SWT atas kejayaan yang diraih oleh Kontinjen SUKMA Johor di Temasya Sukan Malaysia Ke-19

Perak yang berlangsung pada 11 hingga 22 September 2018 yang lalu. Ini adalah hasil perancangan dan pemantauan yang dibuat oleh pihak Majlis Sukan Negeri Johor bagi memastikan segala persiapan atlet dan pasukan berada pada tahap yang terbaik untuk menghadapi SUKMA Perak tempoh hari.

Semua sedia maklum yang Johor bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia Ke-20 Johor pada tahun 2020. Pelbagai persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan penganjuran temasya tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Persiapan bukan sahaja dari segi infrastruktur sukan sahaja, malah persiapan dari segi pengurusan serta yang paling penting adalah persiapan para atlet yang bakal menggalas cabaran di temasya itu nanti. Pencapaian yang diraih di Temasya SUKMA Perak tempoh hari merupakan satu gambaran awal bahawa negeri Johor berada di landasan yang tepat, kerana daripada 498 orang atlet yang menyertai SUKMA Perak, 364 orang atlet iaitu 73% yang masih boleh membawa cabaran Kontinjen SUKMA Johor 2020 nanti. Ini menunjukkan pihak Majlis Sukan Negeri Johor telah menjalankan perancangan yang tepat bagi menghadapi SUKMA Johor 2020 itu nanti.

Kesinambungan daripada itu, Program Titanium 2020 yang mana telah dimulakan sejak tahun 2016 lagi, akan diteruskan dan akan dibuat penambahbaikan bagi memastikan perancangan serta strategi yang betul untuk memberi cabaran di temasya SUKMA Johor 2020 nanti. Program Titanium 2020 yang dilihat memberikan persaingan yang sihat kepada semua atlet di seluruh negeri Johor untuk menempatkan diri di dalam program tersebut.

Untuk makluman semua, pihak Majlis Sukan Negeri Johor sedang dalam proses menjalankan “post-mortem” dengan izin, mengenai prestasi pasukan di temasya SUKMA Perak 2018. Segala maklum balas daripada pasukan dan jurulatih akan disemak bagi dibuat penambahbaikan kepada Program Titanium 2020.

Walaupun negeri Johor bakal menjadi tuan rumah SUKMA Ke-20 pada tahun 2020, ia bukan penamat untuk sukan di negeri Johor tetapi merupakan permulaan era baru sukan di negeri Johor.

Pihak Majlis Sukan Negeri Johor dalam usaha merangka Pelan Pembangunan Sukan 2030 yang menetapkan sasaran 10 tahun perancangan bermula pada tahun 2020. Buat permulaan, pihak Majlis Sukan Negeri Johor telah menjalankan usaha awal dengan menjadikan Sirkuit Remaja Johor yang mana ia melibatkan 10 buah daerah dalam negeri Johor. Pada peringkat permulaan, sebanyak 4 jenis sukan yang telah dikenal pasti untuk dijadikan penambah aras, penanda aras bagi Sirkuit Remaja Johor iaitu sukan Memanah, Pencak Silat, Berbasikal dan Kenu yang mana sukan-sukan ini mempunyai pembangunan sedia ada di setiap daerah. Hasil daripada pemerhatian yang dibuat, sudah ada gerakan awal daripada daerah-daerah yang bertanding menjalankan latihan secara sistematik dan lebih terancang berikutan Sirkuit Remaja Johor ini dijalankan sebanyak tiga sirkuit setiap tahun.

Oleh yang demikian, kualiti para atlet yang bertanding pada setiap sirkuit menunjukkan peningkatan yang terbaik dan ini merupakan pentas yang terbaik bagi atlet di peringkat pembangunan daerah menunjukkan bakat mereka sebelum diserapkan di bawah Program Titanium 2020. Insya-Allah, maklum balas yang positif daripada penganjuran sirkuit ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang dan pihak Majlis Sukan Negeri Johor mencadangkan untuk menambah lagi acara sukan yang bakal dipertandingkan di Sirkuit Remaja Johor ini. Antara acara-acara yang akan ditambah ialah acara pecut, bola tampar, wushu, petanque dan beberapa acara lain.

Bagi sukan-sukan yang lain seperti olahraga dan sepak takraw, program sirkuit dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang telah dilaksanakan sejak tahun 2013 akan diteruskan pelaksanaannya. Hasil daripada penganjuran sirkuit-sirkuit ini, buat pertama kalinya Pasukan Olahraga MSSM Johor 2018 telah menjadi johan keseluruhan. Ini membuktikan perancangan jangka masa panjang bagi membentuk serta menyediakan atlet perlu dirancang dengan teliti untuk memastikan keberhasilan kualiti atlet berada pada tahap yang terbaik. Oleh yang demikian, pihak Majlis Sukan Negeri Johor sangat bekerja rapat dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang mana merupakan kilang utama bakat-bakat yang bakal mengharumkan nama Negeri Johor. Oleh yang demikian, saya memohon agar kerjasama yang telah dilaksanakan ini dapat diteruskan bagi memastikan negeri Johor tidak ketandusan atlet yang bakal mengalas cabaran sukan di peringkat kebangsaan dan seterusnya di peringkat antarabangsa. Terima kasih.

Speaker

Sri Medan.

Terima kasih atas jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat EXCO. Saya pun tak tahu, banyak soalan saya hantar tetap sukan yang naik. Saya ingat tak terlewatlah saya ingin ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat EXCO atas kejayaan ketika SUKMA di Perak. Saya difahamkan 29 pingat emas. Ini merupakan satu kejayaan, bukan untuk pihak kerajaan sahaja tetapi untuk kami di pihak pembangkang juga. Tetapi apa yang kita nampak di sini, program-program seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO bahawa setiap program itu memerlukan satu perancangan dan juga pelaksanaan jangka masa panjang. Dan kita akui untuk melahirkan atlet yang berkualiti dan boleh mencapai kejayaan yang cemerlang pada 2020, perlu persiapan daripada sekarang.

Seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat EXCO tadi iaitu program Titanium telah bermula tahun 2016 iaitu merupakan satu program di peringkat tempatan. Adakah pihak Yang Berhormat EXCO dan juga Majlis Sukan Negeri Johor mempunyai perancangan untuk menghantar atlet atau mengimport jurulatih daripada luar negara atau menghantar atlet ke luar negara untuk kita memberi impak yang lebih besar kepada pencapaian atlet pada tahun 2020. Kerana saya dimaklumkan 2020 dengan persiapan infrastruktur, fasiliti sukan amat luar biasa, tetapi kita tidak mahu lihat dengan persiapan yang begitu besar tetapi pencapaian atlet kita tidak memberangsangkan. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd. Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Sri Medan. Untuk makluman semua, perbincangan telah dibuat bersama dengan pihak Majlis Sukan Negeri Johor berkenaan memastikan bahawa prestasi atlet-atlet negeri Johor untuk SUKMA 2020 berada pada tahap yang membanggakan dan boleh memberikan pingat kepada negeri Johor. Oleh itu, Majlis Sukan Negeri Johor bercadang akan menghantar beberapa atlet ke luar negara, antaranya acara judo. Dan saya dimaklumkan bahawa Majlis, Persatuan Judo Johor telah pun berjumpa dengan saya untuk menghantar beberapa atlet judo ke Jepun bagi memastikan bahawa mereka dapat memberikan sumbangan pingat emas yang lebih berbanding dengan 3 pada SUKMA 2018 yang lalu.

Untuk makluman semua, berkenaan dengan jurulatih luar negara, sebenarnya kita telah ada pun 1 atau 2 persatuan yang telah pun mengambil jurulatih luar negara bagi memastikan bahawa prestasi atlet negeri Johor berada pada tahap yang baik. Dan insya-Allah bagi memastikan sukan antaranya wushu, di mana wushu juga merupakan antara sukan yang menyediakan banyak pingat emas dan di mana kita hanya memenangi 2 pingat emas pada SUKMA yang lalu. Dan insya-Allah kita telah ada perbincangan dengan pihak wushu, Persatuan Wushu dan MSN untuk memastikan bahawa kita dapat mengambil seorang jurulatih daripada China bagi memastikan kita dapat meningkatkan teknikal, dari segi teknikal kerana saya lihat semasa di SUKMA 2020, kita kebanyakan tewas di dalam beberapa point berdasarkan kepada segi teknikal. Dan insya-Allah untuk makluman Yang Berhormat Sri Medan dan Yang Berhormat-Yang Berhormat yang lain, kita akan maklumkan kepada semua mengenai perkembangan terkini skuad SUKMA 2020 insya-Allah. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya. Jemput Yang Berhormat Machap.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 6.

Sejauh mana Kad Sihat Johor telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri kepada kumpulan sasar.

Speaker

Jemput Yang Berhormat Jementah.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 7.

Banyak maklum balas diterima berkenaan dengan tawaran Kad Sihat Johor. Nyatakan dengan secara terperinci status terkini berkenaan dengan pelaksanaannya. Adakah tawaran tersebut hanya untuk satu tempoh terhad atau ia akan ditawarkan pada setiap tahun yang akan datang?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Machap dan Jementah. Dan ucapan selamat datanglah

kepada adik-adik Hab Universiti Pagoh. Pagoh ini akan mengingatkan kita kepada Ahli Parlimen Pagoh dan DUN Gambir. Terima kasih.

Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya untuk menjawab bersekali. Untuk makluman Yang Berhormat, penerima Kad Sihat Johor bagi fasa pertama pada tahun 2018 merupakan Ketua Isi Rumah yang berdaftar di bawah senarai e-Kasih di seluruh Negeri Johor. Kerajaan Negeri Johor telah menyerahkan Kad Sihat Johor kepada penerima mulai 29 September 2018.

Sehingga 21 November 2018, seramai 3,754 Ketua Isi Rumah e-Kasih telah tersenarai sebagai penerima Kad Sihat Johor. Oleh kerana program Kad Sihat Johor ini bermula pada bulan September 2018, maka jumlah pemberian di pro ratakan kepada RM200.00 bagi setiap keluarga.

Penerima yang layak untuk menggunakan kemudahan ini merupakan Ketua Isi Rumah e-Kasih dan juga ahli isi rumah yang berdaftar. Jumlah keseluruhan terkini Ketua Isi Rumah dan Ahli Isi Rumah yang berdaftar dalam Program Kad Sihat Johor adalah sebanyak 19,288 orang.

Program Kad Sihat Johor ini juga akan diteruskan pada tahun 2018 untuk dimanfaatkan oleh penerima sebelum ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Machap jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Machap mohon penjelasan dari segi penggunaan Kad Sihat ini, sama ada klinik-klinik yang ditentukan untuk menerima rawatan sekian sakit oleh pemegang Kad Sihat ini? Kemudian jumlah berapa kali yang dibenarkan untuk mendapatkan rawatan dan juga jumlah keseluruhan kos yang dibenarkan oleh pihak kerajaan bagi pesakit itu untuk mendapatkan rawatan? Kalau tak silap saya, lebih kurang dalam RM150.00, RM150.00 untuk setiap pemegang kad itu. Maknanya kalau melebihi RM150.00 itu, adakah kos itu ditanggung ataupun macam mana oleh pihak yang memegang kad kesihatan ini, Kad Sihat ini? Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Terima kasih Machap. Yang Berhormat Tuan Speaker. Ok, untuk Kad Sihat Johor terbahagi kepada dua, satu, individu dan satu ialah kepada family. Satu ialah total dia, nilai dia sebanyak RM250.00 dan bagi keluarga nilai dia sebanyak RM500.00. Memandangkan satu kali penggunaan adalah RM50.00 bermakna bagi individu boleh menggunakan sebanyak 4 kali dan bagi keluarga boleh menggunakan sebanyak 10 kali. Dia tergantung sebetulnya berapa kali kita kerap, pasal kos yang dah kita limitkan dengan izin, adalah RM50.00 sekali rawatan. Jadi, jika untuk menghabiskannya keluarga tu akan mendapat rawatan sebanyak 10 kalilah untuk yang keluarga.

Kemudian, jumlah klinik-klinik yang mendaftar untuk di bawah e-Kasih ada lebih daripada 100 klinik di seluruh negeri Johor. Klinik-klinik, penerima yang layak untuk mendapat rawatan Kad Sihat Johor boleh mengklik di web, laman web yang telah ditetapkan untuk dia lihatlah di mana saja klinik-klinik yang ada untuk mendapatkan rawatan Kad Sihat Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jementah.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO.

Yang Berhormat Tuan Speaker, tawaran Kad Sihat Johor ini sebenarnya merupakan manifesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu, yang kita mesti merealisasikan tawaran tersebut. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak Yang Berhormat EXCO yang telah berusaha untuk menjayakan program ini.

Walau bagaimanapun, banyak maklum balas juga diterima oleh pihak saya, berkenaan dengan tawaran Kad Sihat Johor ini. Sebab pada permulaannya kita difahamkan bahawa golongan yang akan dinikmati dengan kad ini hanya daripada peserta e-Kasih sahaja. Maka, banyak yang juga datang kepada pejabat khidmat kita untuk bertanya sama adakah contohnya, penerima-penerima kebajikan mereka yang menerima bantuan kebajikan juga ingin tahu sama adakah mereka layak untuk ditawarkan kad ini. Dan juga golongan B40, mereka yang penerima BRIM atau kita sekarang

sudah nama barulah, Bantuan Sara Hidup, itu juga ingin tahu sama adakah dia akan, mereka juga layak untuk memohon tak? Maka, saya ingin tahu sama adakah program ini akan diperluaskan lagi kepada golongan-golongan seperti penerima kebajikan atau juga penerima bantuan sara hidup. Sebab, mereka adalah golongan yang pendapatan di bawah, pendapatan bawahan. Maka kad ini memang dapat memberikan bantuan kepada mereka dari segi kos perubatan. Maka saya ingin mohon pencerahan dari Yang Berhormat EXCO, bahawa sama adakah tawaran ini akan diperluaskan kepada golongan-golongan ini yang saya sebutkan tadi ini. Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Terima kasih Tuan Speaker dan Jementah. Ok. Kad Sihat Johor akan diluaskanlah. Penerima Kad Sihat Johor akan diperluaskan kepada B40lah. Dan dijangkakan tahun depan kita akan menambah lagi penerima berjumlah 15,000 hingga 20,000 penerima ketua isi rumah, Insya-Allah.

Speaker

Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat EXCO yang terakhir sekali melawat web site berkaitan dengan Kad Sihat Johor ni bila agaknya? Kalau boleh tak Yang Berhormat bagi saya penilaian Yang Berhormat terhadap web site yang menyentuh tentang Kad Sihat Johor ini, apa-apa grading Yang Berhormat bagi?

Kedua, adakah Yang Berhormat berpuas hati dengan jumlah peruntukan yang disediakan di dalam Bajet 2019 ini untuk mencapai matlamat seperti mana Yang Berhormat sebutkan tadi? Terima kasih. Ha, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga nak ucap terima kasih kepada Yang Berhormat sahabat saya Jementah kerana beliau berhasrat untuk nak merealisasikan manifesto PH ni. Baik, satu usaha...

Speaker

Tak merealisasikan ke?

Satu usaha, satu usaha yang baik Yang Berhormat.

Speaker

Ok, dijemput EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Terima kasih Yang Berhormat. Ok. Laman web Sihat Johor adalah diuruskan oleh Setiausaha Bahagian, SUK Bahagian Pengurusan dan oleh third party lah, Maju Sihat. So, nanti kita akan check baliklah, tengok macam mana proses tu kerana penambahbaikan kita akan sentiasa lakukan. Lepas tu, tentang bajet, Alhamdulillah lah, setakat ini saya sangat berpuas hati kerana walaupun bajet tu nanti akan berkurangan tapi jangan takut Insya-Allah kerajaan akan mampu untuk menambah balik bajet tu. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Yang Berhormat Maharani, jemput.

Puan Nor Hayati binti BachokAMANAH · PHMaharani

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 8.

Sejajar dengan pengumuman oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sila nyatakan langkah-langkah diambil kerajaan negeri untuk memastikan sasaran semua jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri menyediakan taska di premis mereka dapat dicapai menjelang 1 Januari 2019.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Maharani. Kerajaan negeri Johor maklum akan isu-isu yang menjadi kebimbangan kepada para ibu bapa di Malaysia iaitu berhubungan dengan kes penderaan bayi sehingga membawa kepada kematian. Kes sebegini telah mendatangkan kemarahan dan membawa kepada kebimbangan ibu bapa dalam menghantar anak-anak kepada TASKA atau pengasuh. Namun, dalam masa yang sama mereka keluar untuk mencari rezeki bagi mengurangkan beban keluarga.

Pada dasarnya, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim iaitu YPKDT telah mempunyai pusat asuhan kanak-kanak TASKA iaitu TASKA YPDKT Wisma Persekutuan di Jalan Syed Mohamad Mufti, Johor Bahru dengan jumlah kanak-kanak seramai 52 orang.

Objektif asal penubuhan asal TASKA YPKDT adalah memberi perkhidmatan kepada ibu bapa dengan menyediakan jagaan asuhan gantian yang sempurna, sihat dan selamat bagi anak-anak tersebut. Penubuhan TASKA YPKDT adalah bagi kemudahan kakitangan awam dan juga masyarakat yang berhampiran. Kedua, ibu bapa dapat menumpukan perhatian terhadap pekerjaan mereka di samping merasa tenang dan yakin tentang kebajikan, pertumbuhan dan perkembangan awal anak-anak terjamin. Ketiga, menyempurnakan pembangunan bayi dari awal pembentukannya dan meningkatkan potensi pembangunan mental dan intelek kanak-kanak. Dan, seterusnya meluaskan pembangunan sosio emosi kanak-kanak yang positif dengan penuh kasih sayang dan memberi kemahiran sosial sejak dari awal pembesaran dan perkembangan kanak-kanak.

Berdasarkan kejayaan dan permintaan yang tinggi terhadap TASKA sedia ada, kerajaan melalui YPKDT meneruskan pembangunan TASKA di Kota Iskandar manakala TASKA YPKDT Pontian telah pun siap sepenuhnya dan dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2019. TASKA YPKDT daerah Pontian telah dibangunkan di bersebelahan dengan pejabat YPKDT daerah Pontian iaitu di alamat JKR 2046, Jalan Utama, Taman Mega. Perancangan bagi pembangunan TASKA adalah hasil daripada dapatan keseluruhan kajian analisis data menyokong keperluan ini berdasarkan kepada permintaan responden. Unjuran permintaan menunjukkan keperluan sekurang-kurangnya 5 buah TASKA dan TADIKA dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Data yang menunjukkan peratusan yang tinggi bagi suami isteri bekerja dan wanita produktif menguatkan lagi unjuran keperluan perkhidmatan ini. Menyedari akan hasrat dan pengumuman oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kerajaan negeri Johor berusaha untuk menambah lagi TASKA di setiap daerah terutama di premis-premis atau kawasan pentadbiran kerajaan. Dan, selain itu TASKA YPKDT daerah Batu Pahat pun akan dibina dengan kos sebanyak RM200,000.00 dan cadangan lokasi bagi pembangunan ini adalah di Jalan Mohamad Syah, Batu Pahat. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya. Dijemput, Bukit Permai.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 9.

Dengan dasar tender terbuka oleh kerajaan PH, apakah ada rancangan kerajaan untuk tidak lagi memberikan hak kepada konsesi-konsesi terhadap projek kerajaan persekutuan dan negeri seperti yang ada sekarang ini?

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Bismillahirrahmanirrrahim.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya nak menjawab soalan saya kena memberi sedikit penerangan tentang apa, kontraktor-kontraktor yang teribat dalam kerja-kerja tersebut dan skop kerja.

Yang pertamanya, kita ada 4 kontraktor yang terlibat dalam projek konsesi yang pertamanya dia selenggara melibatkan jalan-jalan persekutuan, yang keduanya Infra Desa yang melibatkan jalan-jalan luar bandar dan kampung, dan seterusnya Amona dan Teto dua buah syarikat melibatkan jalan-jalan di bawah kerajaan negeri Johor iaitu kalau kita tengok dalam google maptu “J”, eh. Jadi, sebenarnya kontrak yang ada ni semuanya berjalan seperti biasa kecuali kontrak melibatkan Amona dan Teto yang sedia maklum bahawa kontrak asal sudah tamat pada 31 Ogos yang lepas dan dalam proses negotiation, dengan izin oleh Jawatankuasa Tender Kerajaan Negeri Johor. Dan, kita masih dalam proses negotiation dan secara amnya bahawa kita akan meneruskan kontrak tersebut, sebab apa dalam kontrak asal, 5 + 2. Jadi, yang 5 tu dah tamat, dan kita +2 tu bila kita meneliti dalam undang-undang dan sebagainya dalam perjanjian tersebut dan kita tidak boleh tamatkan dan kita terpaksa untuk terus menyambung lagi dua tahun. Terima kasih.

Speaker

Bukit Permai, jemput.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya mohon pencerahan daripada pihak EXCO kerajaan, berapakah jumlah syarikat-syarikat yang telah diberikan kerja di bawah konsesi-konsesi ini termasuk kerja jalan dan sebagainya? Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Saya ada data sebenarnya. Kalau saya nak terangkan data sebab apa dia terlalu besar sangat, terlalu skop besar, yang mana satu? Kalau nak tanya yang tadi Teto, Amona saya boleh terangkan, tapi kalau saya nak menerangkan saya ingat semua sekali...

Speaker

Bertulis...

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Ha?

Speaker

Hantar bertulis selepas ini.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Ha saya bagi detail secara bertulis. Tapi saya bagilah, mungkin maksud dia kepada Amona dengan Teto lah. Jadi, Amona dengan Teto ni kontrak asal dia RM256 juta selama 5 tahun dan untuk Teto, RM179 juta untuk tempoh 5 tahun. Ini dah tamat 31 Ogos dan sambungannya 1 September 2018 dan berakhir 31 Ogos 2020, eh. Jadi, yang seterusnya Infra Desa, kontraknya 5 + 2, mula 1 Julai 2015 dan tamat 30.06.2022, nilai kontrak RM555 juta. Dan seterusnya selia selenggara iaitu tarikh,sebenarnya dia baru renew sebelum pilihan raya. Dia dah renew8 tahun iaitu bermula 5 April 2018 dan berakhir 16 Februari 2026. Jadi, nilai kontrak dia lebih kurang, dia tidak tetap sebab apa dia ada provisional sum iaitu boleh berubah ikut kuantiti jalan lebih kurang RM3.0 juta sebulan dan lebih kurang RM44 juta setahun. Terima kasih.

Speaker

Ok. Alhamdulillah, masa pun sudah pukul 11.02 tengah hari. Saya tamatkan soalan-soalan ini. Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Kita berehat 20 minit dan kita masuk semula 11.25 pagi. Sekian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.02 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.25 pagi.

Penolong Jurutulis : SAMBUNGAN PERBAHASAN ATAS RUNDINGAN BACAAN KALI YANG KEDUA BAGI RANG UNDANG-UNDANG ENAKMEN PERBEKALAN (2019) TAHUN 2018.

Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) Tahun 2018 dimulakan sekarang. Saya persilakan Machap untuk membahaskan. Silakan.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam muafakat Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, Machap merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang berucap membahas Bajet 2019 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar Johor pada 29 November yang lalu. Machap merakamkan penghargaan atas keterbukaan Menteri Besar yang mengakui bahawa kemajuan yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu, dan menekankan mana-mana inisiatif yang baik akan diteruskan dan juga akan dibuat penambahbaikan. Tahniah kepada Menteri Besar yang telah membentangkan bajet yang pertama untuk Pakatan Harapan dengan 28 sektor, 207 Titik Fokus berdasarkan 6 Teras Strategik. Tugas berat tentunya menanti Pakatan Harapan untuk melaksanakan bajet tersebut.

Bajet menekankan kemapanan ekonomi, berusaha meletakkan Johor menjadi sebuah kuasa ekonomi yang hebat, di selatan tanah air dan juga Asia Tenggara. Bajet juga memberikan penekanan kepada soal-soal keadilan, saksama pembangunan kepada semua kaum. Mewujudkan peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, keselamatan dan ketenteraman awam dan berusaha menjadikan Johor mempunyai modal insan yang berkemahiran tinggi yang progresif dengan berpegang teguh pada budaya dan tradisi bangsanya. Machap melihat ini merupakan satu kesinambungan kepada

pelaksanaan Bajet 2018 yang lalu di bawah BN, yang turut menekankan aspek yang sama melalui tema Membangun Dekad Baru Yang Sejahtera Untuk Rakyat. Memacu Johor menjadi sebuah kuasa ekonomi yang hebat di selatan. Menjadi Kuala Lumpur yang kedua menjelang 10 tahun lagi. Ini harapan di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang lalu ingin menjadikan Johor Bahru, Johor sebagai kuasa ekonomi dan juga Kuala Lumpur yang kedua. Dalam menaikkan semangat bangsa Johor untuk memacu negara ini, negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju, kita membakar semangat untuk memacu kemajuan negeri Johor bersaing rapat dengan jiran terdekat kita iaitu Johor JDT harimau mengejar negara yang terdekat dengan kita iaitu Singapura iaitu Johor mengejar singa. Kita tidak mahu bersaing dengan Pulau Pinang, kita tidak mahu bersaing dengan Selangor, tetapi kita di negeri Johor mahu memacu kemajuan yang pesat, yang hebat setanding dengan negara Singapura.

Dan, kalau kita lihat juga, penerusan dasar-dasar, idea-idea yang telah digarap oleh Barisan Nasional yang lalu yang diteruskan oleh Pakatan Harapan, Machap melihat kalau idea itu diteruskan bermakna Barisan Nasional tumpang gembira. Kerana ini, kerana dasar ini adalah daripada Barisan Nasional dan kejayaan melaksanakan dasar dan idea dari BN ini di bawah Pakatan Harapan yang tentunya Pakatan Harapan gembira dengan kejayaan pelaksanaan ini maknanya BN tumpang gembira kerana ini idea daripada BN, dan dasar ini daripada BN dan PH gembira kerana kejayaan melaksanakan. Ini bukan untuk kita tetapi untuk rakyat Johor maka Pakatan dan BN akan menjadi abang dan adik bagi memastikan kejayaan untuk negeri Johor lebih diutamakan.

Sekarang ini dalam pilihan raya yang ke-14, rakyat Johor memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk menjadi pentadbir. Menguruskan kemajuan negara di samping menjaga, mempertingkatkan kebajikan rakyat di negeri Johor. Ini harapan rakyat Johor. Kalau selama ini BN bertanggungjawab untuk membangunkan negeri ini, menjaga mensejahterakan rakyat, tetapi kali ini tanggungjawab diberikan kepada Pakatan Harapan. Kalau kita bertanding 14 kali, baru kali pertama kita kalah, saya rasa tidak mengapa. Tak akanlah 14 kali bertanding semua BN menang, bagilah peluang pula kepada Pakatan untuk menang. Dan kita juga harus ingat, kita harus ingat negara ini sedang beralih kepada sistem dua parti. Sistem dua parti yang akan menawarkan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Kalau PH mengamalkan dasar, mengamalkan pentadbiran yang baik untuk rakyat, rakyat akan pilih. Kalau tidak baik, kita ada pilihan, kita ada parti Barisan Nasional. Dua pilihan,maknanya ini politik yang kita semakin menuju ke arah politik kematangan.

Dan Machap pernah berucap dalam ucapan yang lalu yang meminta dalam keghairahan kita meraihkan kemenangan janganlah kita mengemukakan isu-isu yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kaum-kaum yang lain. Misalnya baru-baru ini isu ICERD yang telah menimbulkan semacam kegusaran kepada kaum majoriti, walaupun Menteri Besar ada kata isu ini kita ada empat parti dalam Pakatan Harapan kita boleh membuat kompromi terhadap sesuatu, tidak macam BN yang ada berbelas parti dia kata. Tetapi setakat ini...

Speaker

BN berbelas parti ini dahulu, sekarang berbelas lagi ke? (Dewan ketawa).

Tetapi isu ini sepatutnya dibawa bersama bincang dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan. Bila isu ICERD ini dikemukakan akhirnya menampakkan isu ini tidak mendapat kesepakatan antara Pakatan Harapan. Maknanya, Presiden PKR telah menyentuhnya, dia kata dia minta tangguh. Begitu juga dengan Perdana Menteri kita dan juga beberapa pemimpin lain minta tangguh ataupun kita jangan teruskan ini. Maknanya ini sebagai satu isu permulaan yang perlu menunjukkan adanya kesepakatan untuk memastikan rakyat tidak rasa gusar dengan pentadbiran di bawah Pakatan Harapan. Dan bila kita jadi pembangkang, bila BN jadi pembangkang, insya-Allah BN akan berusaha untuk jadi pembangkang yang baik, menegur, memperingat supaya apa juga dasar dan idea daripada Pakatan Harapan dapat kita tegur dan berada pada landasan yang benar. Kalau kita lihat ucapan Menteri Besar juga mengingatkan kuasa Allah yang boleh mencabut kuasa, memuliakan dan menghina sesiapa yang dikehendaki. Jadi pembangkang mengingatkan sesama kita supaya mengingatkan, menunaikan janji-janji yang telah kita buat supaya kita tidak tergolong dalam orang yang munafik. Kalau 100 hari tidak boleh tunaikan, kita ada 1 tahun. Kalau 1 tahun tidak boleh tunaikan kita ada 5 tahun, yang penting manifesto ini, janji ini kita perlu tunaikan dalam tempoh 5 tahun supaya janji kita itu dapat ditunaikan. Dan dalam hal ini, sebenarnya Machap berpendapat, Tuan Speaker beruntung sebab pembangkang yang ada pada hari ini adalah pembangkang-pembangkang yang matang. Pembangkang-pembangkang yang boleh berfikir secara rasional. Kalau Tuan Speaker dulu menjadi Speaker, yang lepas saya lihat bagaimana pening kepala Tuan Speaker mengendali Dewan mesyuarat ini. Sebab pembangkang...

Speaker

Tapi saya sekarang pun pening juga, sebab senyap sangat. (Dewan ketawa).

Jadi, kita lihat bagaimana kematangan daripada pembangkang BN hari ini menyebabkan Tuan Speaker saya rasa boleh mengawal Dewan ini dengan baik. Dan juga, dalam manifesto yang lalu, 10 manifesto yang telah dirancang dan disebut oleh PH telah dilaksanakan di negeri Johor. Dalam ucapan MB yang lepas dia kata ada Machap dan beberapa YB yang lain seperti “katak bawah tempurung”, tidak mengikuti bahawa manifesto di negeri Johor ini telah dilaksanakan. Jadi, sebenarnya saya telah diminta oleh seorang wartawan Sinar dalam surat khabar itu, saya, YB Bukit Batu dan seorang lagi telah pun mengeluarkan kenyataan diminta pendapat YB Machap bagaimana pelaksanaan manifesto? YB Machap jelaskan, telah pun dilaksanakan. Alhamdulillah cuma tiga yang belum dilaksanakan. Tetapi rasa sedihlah, sebab Menteri Besar kata YB Machap seperti “katak bawah tempurung”, tidak mengikuti perkembangan sedangkan manifesto itu sudah pun dilaksanakan.

Seterusnya Machap minta penjelasan berkaitan dengan manifesto yang telah diuar-uarkan telah dilaksanakan. Contoh, sistem Takaful yang memberikan peruntukan RM1,000.00 dengan peruntukan RM560,000.00 pada tahun 2018. Machap ingin mengetahui berapa ramai yang sudah menuntut? Sebab proses tuntutan kepada waris-waris ini tidak melalui pejabat YB pembangkang. Jadi maklumat ini kita tidak tahu. Dan kadang kala urusan menuntut pun sukar untuk dilakukan. Kemudian pelaksanaan Kad Sihat Johor yang memperuntukkan RM1.2 juta tadi telah dijelaskan oleh EXCO berkaitan dengan Kad Sihat Johor, insentif kursus perkahwinan percuma, pada program ini telah pun berjaya menarik minat anak-anak muda bila kursus ini percuma mengurangkan kos, tentunya anak-anak muda berebut-berebut untuk bernikah, berkahwin sebab ada bantuan, insentif kursus perkahwinan ini. Sebab itu Machap ingin mengetahui sama ada manifesto itu betul-betul sudah dilaksanakan ataupun manifesto ini sekadar diumumkan pelancarannya, setakat mana perkembangannya, pelaksanaannya. Adakah sekadar diumumkan pelaksanaannya, maka itu sudah dikira manifesto ini sudah dijalankan.

Kemudian, Machap ingin menyentuh isu berkaitan pelantikan ketua kampung yang ini telah dijelaskan seramai 674 orang. Sehingga kini di Simpang Renggam ada beberapa kampung yang belum dilantik ketua kampung sebab dia bagi tahu surat pelantikan belum dikeluarkan. Kalau kita lihat pihak kerajaan negeri Johor menjelaskan awal bulan September, isu pelantikan ketua kampung akan kita selesaikan sebab bila tidak ada ketua kampung, akan berlaku permasalahan kepada kampung itu terutamanya kepada ibu bapa atau rakyat, masyarakat di tempat tersebut untuk membuat surat sokongan pengesahan dan sebagainya. Jadi, oleh kerana ketiadaan ketua kampung maka peranan Yang Berhormat di tempat itu semakin sibuk akibat ketiadaan ketua kampung. Begitu juga dengan pembangunan di kampung tersebut. Bila mana tidak ada ketua kampung, maknanya dari segi permohonan kepada Pejabat Daerah untuk pembangunan infrastruktur, jalan raya, menaik taraf misalnya perparitan dan sebagainya agak sukar untuk dilakukan. Dan juga kalau kita lihat Yang Amat Berhormat Menteri Besar memperjelaskan pelantikan ini secara terbuka dan telus, tidak melibatkan ahli politik. Individu yang layak dipilih berdasarkan merit.

Jadi dari segi pemerhatian Yang Berhormat Machap, saya melihat kadang kala pelantikan itu walaupun kita cuba elakkan dari segi campur tangan politik tetapi yang menjadi ketua kampung sebahagian besarnya juga adalah orang-orang yang mendukung politik. Maknanya bukan kerana dia hebat di kampung tersebut dari segi kerja-kerja kemasyarakatannya, dari segi penglibatan keagamaannya tetapi dari segi penglibatan dia dalam politik juga diambil kira. Sebab kadang kala Machap melihat, ada ketua kampung yang lalu yang bertugas dengan baik, dapat berkhidmat yang memuaskan hati rakyat juga mohon bersama dengan ketua-ketua kampung yang telah dilantik ini tapi tidak dapat. Jadi rakyat merasakan ketua kampung yang lama perlu dikekalkan tetapi ditolak disebabkan mereka nampak seolah mirip kepada kerajaan Barisan Nasional.

Kita melihat keharmonian di kampung misalnya, kebiasaannya yang jadi ketua kampung sekarang ini adalah dalam kalangan parti Pakatan Harapan. Suatu masa dahulu mereka adalah pembangkang dan sebahagian besarnya yang menjadi ketua kampung ini menyokong Barisan Nasional tetapi bila mereka sekarang ini dipilih jadi ketua kampung, suatu masa dahulu mereka tidak mengikuti program-program kampung, seolah-olah mereka meminggirkan orang-orang kampung sebab dia pembangkang, dia malu nak mengikuti apa jua program yang dianjurkan oleh ketua kampung. Bagaimana sekarang ini orang yang suatu masa dahulu tidak mendekati diri dengan rakyat, dengan masyarakat kampung dipilih untuk jadi ketua kampung menerajui kampung tersebut untuk membawa pembangunan?. Bagaimana?. Sebab itu Machap menegaskan, kalau boleh biarlah kita pilih ketua kampung ini betul-betul berdasarkan merit sebab di Machap ada dua kali pemilihan. Pemilihan kali

pertama, orang yang kita nampak berkecuali tapi lebih macam mirip kepada Barisan Nasional mendapat markah yang tinggi dalam pemilihan ketua kampung tetapi terpaksa ditolak atas alasan dia mirip kepada Barisan Nasional. Dibuat kali kedua pemilihan sampai sekarang keputusannya masih tertangguh.

Seterusnya Machap ingin merakamkan rasa terima kasih kepada Pakatan Harapan yang telah memberikan peruntukan RM50,000.00 kepada pentadbiran pejabat untuk ADUN-ADUN, pejabat ADUN bagi melaksanakan program-program pentadbiran di pejabat masing-masing. Peruntukan ini kemungkinan juga disebabkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang lalu meninggalkan kedudukan kewangan yang baik daripada tahun 2013 hingga 2017 dengan surplus dan tidak menjejaskan lebihan terkumpul akaun hasil disatukan yang terus mencatatkan peningkatan sepanjang pentadbiran Barisan Nasional.

Speaker

Yang Berhormat, kalau lebih surplus tapi tak nak bagi, tak dapat juga.

Ya betul.

Speaker

Tapi nak bagikan..

Tapi sekurang-kurangnya menghargailah jasa orang yang terdahulu. Sebab dia yang mengumpul duit tak sempat nak habiskan orang lain yang habiskan.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Penggal lepas tak bagi pun.

Sebab masa itu kita yang cari duit. (Dewan ketawa). Jadi sekarang ini, sekarang ini kita melihat, melihat kepada laungan politik Malaysia Baru. Apa Malaysia Baru? Malaysia Baru ini menggambarkan politik matang, politik yang tidak balas dendam, kalau suatu masa dahulu kemungkinan kesilapan Barisan Nasional tidak memberikan peruntukan kepada pembangkang Pakatan pada masa itu juga kemungkinan ini kesilapannya daripada Perdana Menteri sekarang ini yang menjadi, menjadi Perdana Menteri 22 tahun. Sekarang ini menjadi Perdana Menteri..

Speaker

Habis Perdana Menteri sebelum ini, Perdana Menteri yang sebelum ini, yang Datuk Seri Najib ini salah tak? (Dewan ketawa)

Maknanya kami yang baru ini, kami yang baru ini dipersalahkan sebab tidak memberikan peruntukan kepada Pakatan Harapan pada masa itu. Kalau kita..

Speaker

Saya seronok dengar Yang Berhormat, saya seronok dengar hujah Machap ini tapi masa dah, masa kita ada beberapa minit lagilah. Dah lebih daripada 15 minit.

Oh, banyak lagi ini. Seterusnya Machap mencadangkan agar bantuan kupon perjalanan ke hospital dan klinik terpilih untuk golongan B40, warga emas dan OKU dengan RM100,000.00 peruntukan itu. Jadi Machap mencadangkan agar pemberian ini dikembangkan kepada pesakit buah pinggang yang kebiasaannya mendapatkan rawatan di pusat dialisis sebanyak 3 kali seminggu. Kadang kala mereka berhadapan dengan permasalahan dari segi wang ringgit, dari segi membayar kos pengangkutan, menyewa teksi dan sebagainya. Mereka sudahlah sakit sebanyak 3 kali seminggu untuk mendapatkan rawatan tentunya mereka ini perlulah dipertimbangkan untuk dibantu.

Kemudian Machap ingin juga menyentuh tentang pembinaan infrastruktur air RM16 juta dan juga pengurusan sumber air. Setiap kali Machap berucap dalam Dewan ini, Machap tidak putus-putus bawa isu gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan juga Parlimen yang menang dalam pilihan raya yang lepas menjanjikan isu ini sebagai agenda utama kalau Pakatan Harapan menang di Parlimen Simpang Renggam. Tetapi bila menjadi Ahli Parlimen, rakyat mengeluh. Dia tanya saya. “Yang Berhormat kenapa sejak Pakatan Harapan ini menang semakin kerap pula gangguan bekalan air?” Jadi saya cakap, “bagilah peluang mereka”. Ini pembangkang yang baik ini. Dia kata bagilah peluang mereka untuk meneraju 5 tahun. Kemudian, Machap membuat semakan, dalam bulan 10, 2 kali gangguan bekalan air di Simpang Renggam. Dalam bulan 11, 7 hari, 7 hari dalam bulan 11, gangguan bekalan air dan berpunca daripada tapak buang sampah. Ini YB EXCO ini, kita dah minta

supaya dia tutup tapi YB EXCO kata tak boleh tutup tunggu Bukit Payung. Bukit Payung kata tunggu nanti kita akan pertimbangkan. Sana tolak sini, sana tolak sini, kita pun tidak faham bila penyelesaian masalah utama di Simpang Renggam ini dapat kita selesaikan.

Jadi yang Machap ingin kaitkan dengan gangguan bekalan air di sini ialah, bila loji rawatan air ditutup dan dibuka semula, penduduk di Simpang Renggam terima bekalan air yang berkarat. Machap dah sebut yang lepas, hampir sepuluh minit air dibuka, baru dapat terima air yang bersih. Kalau seorang buka 10 minit berapa liter air yang mengalir dibuang begitu sahaja. Kalau penduduk Simpang Renggam ada 50,000, berapa banyak air yang dibuang kerana air berkarat yang tidak boleh digunakan. Jadi Machap minta dipertimbangkan melalui Kementerian Kesihatan misalnya untuk buat kajian setakat mana kualiti air yang mengalir itu, kalau kita minum tidak menjejaskan kesihatan, tidak menyebabkan kulit kita terganggu, gatal-gatal dan sebagainya. Machap kira setakat ini belum ada Jabatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan membuat kajian berkaitan dengan kualiti air tersebut.

Kemudian Machap juga ingin menyentuh tentang pindaan cukai tanah dengan anggaran sebanyak RM404.81 juta peningkatan hasil kerajaan yang di pikirkan dengan kenaikan cukai tanah mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat mengikut keadaan keluasan penggunaan tanah. Jadi dalam keadaan sekarang ini, Machap sebagaimana Yang Berhormat Tenggaroh mencadangkan agar kenaikan cukai tanah ini, kita tangguh untuk satu tempoh yang tertentu. Sebab apa, sebab sekarang ini harga sawit merudum. Satu tan RM250.00 hingga RM270.00. Upah memotong sawit, upah meracun, upah membuang daun browning, nak membaja dan sebagainya, berapa yang tinggal untuk pendapatan kepada peneroka termasuk dari segi pemotong getah yang harganya lebih kurang dalam RM1.70 sekarang ini. Kalau kenaikan ini dibuat 2019 tentunya akan menambah beban kepada rakyat yang mana tentu melanggar janji Pakatan Harapan ingin membela nasib rakyat tetapi sebaliknya cukai tanah ini dinaikkan. Justeru, Machap mencadangkan agar cukai yang kemungkinan dijangka akan berlaku juga kepada cukai pintu melalui PBT-PBT, kita khuatir sebab tadi bila diberitahu ada pemansuhan cukai-cukai atau lesen kepada penjaja-penjaja. Kita khuatir bila kutipan itu dimansuhkan, kita khuatir PBT pula akan menaikkan cukai pintu yang turut sama nanti akan menjejaskan rakyat.

Speaker

Yang Berhormat dah 25 minit. Dah 25 minit. Pembangkang yang baik..

Oleh kerana Yang Berhormat Tuan Speaker, menyebut saya sebagai pembangkang yang baik, walaupun ada isu-isu lain yang Machap ingin sentuh, tapi insya-Allah kita ada 4 tahun lagi kita akan bersidang, insya-Allah isu ini akan Machap perjuangkan. Yang pentingnya nasib rakyat di negeri Johor kita perjuangkan dari segi membela kesejahteraan mereka. Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Machap. Saya lihat dalam Persidangan lepas, dia slow. Kali ini semangat sungguh dia nampak. Tahniah. Ok, seterusnya Tangkak. Tangkak ini lagi semangat.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Tangkak untuk menyertai dalam perbahasan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2019. Tangkak terlebih dahulu, Tangkak ingin mewakili rakyat di seluruh kawasan DUN Tangkak untuk merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam sihat sejahtera sempena ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Tuanku yang ke-60 pada 22 November yang lalu.

Seterusnya Tangkak ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri Johor terutama kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan kerana telah berjaya membentangkan Belanjawan 2019 pada 29 November 2018. Tidak lupa juga ucapan tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua penjawat awam dan kakitangan kerajaan kerana telah bertungkus lumus untuk menyediakan belanjawan ini secara langsung dan tidak langsung. Kerja keras dan pengorbanan serta kerjasama daripada penjawat awam dan kakitangan kerajaan selama ini barulah kita dapat menghasilkan sebuah belanjawan yang begitu sempurna bagi negeri kita. Walaupun kerajaan Pakatan Harapan cuma mengambil alih pentadbiran negeri Johor pada bulan Mei yang lalu tetapi dengan komitmen yang tinggi anggota kerajaan telah mentadbir negeri kita dengan teratur, kita telah berjaya melaksanakan banyak kerja dalam tempoh enam bulan termasuk kerja-kerja yang mereka tidak dapat lakukan atau melaksanakan dalam tempoh 60 tahun memegang kuasa. Tangkak amat tertarik oleh pengumuman ketua pembangkang negeri Johor pada hari semalam dan tuduhan beliau bahawa pengiktirafan Ketua Pembangkang Kerajaan Negeri Johor pada hari ini hanya

memberi elaun dan pejabat tidak cukup. Beliau meminta supaya dapat hadir dalam mesyuarat kerajaan termasuk majlis, apa tu, Majlis Tindakan Daerah. Pada Tangkak, pendapat saya bahawa Ketua Pembangkang ini kalau kita bagi dia masuk dalam Mesyuarat Majlis Daerah, Majlis Tindakan Daerah, saya rasa kita, kerajaan negeri mungkin boleh mempertimbangkan. Tapi jangan nanti kita dah bersetuju untuk beliau memasuki ke JKTD, Jawatankuasa Tindakan Daerah, akan dia minta nanti nak masuk mesyuarat MMK. Sebab dia Wakil Rakyat. Itu yang saya risau, dia banyak minta, memandangkan pengalaman Tangkak sebagai seorang Wakil Rakyat pembangkang pada penggal lepas. Saya masih ingat pada zaman ketika itu, jangan kata Ketua Pembangkang kita yang sekarang sebagai Timbalan Speaker Dewan yang mulia ini, tidak di beri pejabat atau pengiktirafan rasmi. Saya masih ingat EXCO kita, EXCO kita bekerja atas lantai pada masa itu di koridor. Sofa pun tidak di beri. Sekarang EXCO Keusahawanan. Saya masih ingat lagi, kita nak buat PC.

Speaker

Sofa kat luar tu banyak tu.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Banyak, tak dibenarkan mengguna kerana penjawat awam kakitangan kerajaan tidak ada tempat nak duduk Tuan Speaker. Saya masih ingat bila kita nak mengadakan sidang media. Kadang-kadang tempat tersebut akan di blok. Tapi sekarang kerajaan Pakatan Harapan kita tidak mahu membalas dendam. Kita bukan sahaja menyediakan Bilik Ketua Pembangkang, kita juga menyediakan satu sudut untuk mereka untuk mengadakan sidang media sampai letaklah lambang pembangkang. Tapi beliau cakap tidak cukup lagi. Jadi, kami tak tahulah Ketua Pembangkang ini menolak tawaran atau menolak kemudahan tersebut, adakah kerana mereka tidak mampu berperanan sebagai Ketua Pembangkang dan barisan pembangkang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Tangkak juga tertarik dengan hujah daripada Yang Berhormat Kahang dan Tenggaroh semalam. Yang Berhormat Kahang mengatakan kerajaan sebelum ini dah banyak memperuntukkan terutama kepada masyarakat India, dari 4 juta sehingga ke 8 juta setahun. Sudah banyak tolong. Tapi tiba-tiba, Yang Berhormat Tenggaroh pula petang semalam berkata, 8 juta yang diperuntukkan pada tahun 2018 oleh kerajaan sebelum ini langsung tidak di guna. Jadi apa gunanya kalau memperuntukkan jumlah yang besar, tapi cuma simpan untuk syok sendiri, dengan izin, ataupun tidak dipakai dengan berhemah. Tidak guna. Jadi, inilah sebab rakyat tolak Barisan Nasional walaupun kita sedia maklum keadaan ekonomi dan keadaan kewangan negeri kita dan negara kita pada masa sekarang tidak mengizinkan, tapi kerajaan Pakatan Harapan tidak akan lupa tugas kita untuk membela rakyat Johor dan Malaysia.

Yang Berhormat Speaker, pada bulan lepas, bulan November yang lalu, Ranhill SAJ dan Indah Water Consortium Sdn Bhd (IWK) telah membuat satu pengumuman bahawa bermula Januari 2019, caj perkhidmatan pembetungan IWK akan disatukan ke dalam bil SAJ. Bagi mereka yang mendiami di rumah-rumah, yang menggunakan sistem pembetungan, bersambung ke loji olahan kumbahan, memang tiada masalahlah kerana IWK memang memberi perkhidmatan kepada mereka sepanjang masa ini. Tetapi bagi kediaman yang menggunakan sistem tangki septik individu, mereka tidak semestinya menerima perkhidmatan daripada IWK, kerana kebanyakan tangki septik individu ini dirawat oleh kontraktor-kontraktor lain. Sekiranya semua pemegang akaun SAJ akan di caj perkhidmatan IWK dalam bil mereka, ini adalah sangat tidak adil kepada golongan yang menggunakan sistem pembetungan tangki septik individu memandangkan mereka tidak terima perkhidmatan IWK. Menerima bekalan air yang bersih adalah hak asasi manusia dan SAJ merupakan syarikat pembekal air yang tunggal di negeri Johor, tetapi IWK, Indah Water Consortium Sdn Bhd bukan syarikat tunggal dalam industri pembetungan di negeri Johor, maka Tangkak berharap SAJ dan IWK dapat kaji semula dengan teliti sebelum bil disatukan itu dilaksanakan supaya tidak muncul masalah pelanggan di caj tanpa khidmat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan telah melancarkan kempen pengasingan sisa pepejal dari punca iaitu dengan izin, separation as source (SAS) pada 1 September 2015. Malangnya selepas tiga tahun kempen SAS ini dimulakan, nampaknya ramai rakyat telah lupa kempen ini. Tangkak dengan ini meminta, bercadang supaya kerajaan negeri Johor mengaktif semula kempen ini. Maklumat dan informasi berkaitan SAS perlu disebarkan secara meluas dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat semula, supaya dapat mendidik dan membudayakan amalan SAS di kalangan masyarakat ke arah mewujudkan masyarakat yang menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber dan menjaga kebersihan persekitaran serta memelihara kelestarian alam sekitar. Pendekatan ini juga dapat meningkatkan kadar kitar semula yang juga akan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sedia ada yang semakin kehabisan ruang.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kebanyakan tapak pelupusan di seluruh negeri Johor telah mencapai tahap kritikal pada masa sekarang. Beberapa tapak pelupusan telah pun melebihi had kapasiti sepertimana yang baru di sebut oleh Yang Berhormat Machap tadi iaitu tapak pelupusan sampah CEP Simpang Renggam dan juga tapak pelupusan Bukit Bakri. Kedua-dua tapak pelupusan sampah ini dijangka akan menamat operasi menjelang tahun 2019. Setelah kedua-dua tapak pelupusan sampah ini ditutup selamat dalam beberapa bulan lagi, apakah alternatif atau penyelesaian yang akan diambil oleh kerajaan negeri supaya sisa pepejal dari lima PBT iaitu Majlis Daerah Simpang Renggam, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Perbandaran Muar tidak terjejas.

Bagi kawasan bercukai di negeri Johor, sisa pepejal di urus oleh Southern Waste Management iaitu SWM, kontraktor pembersihan lantikan Pihak Berkuasa Tempatan. Tetapi bagi kawasan yang tidak bercukai atau kawasan luar bandar, sisa pepejal di situ adalah di urus oleh penduduk-penduduk tempatan sendiri. Antara cara urus sisa pepejal itu termasuk mengangkut sampah ke tong sampah awam yang berdekatan, menanam di tanah kosong ataupun tanah lapang, persekitaran rumah mereka, membakar ataupun terus mencampak ke parit dan sungai berdekatan. Cara melupus sampah sebegini telah menimbulkan masalah kebersihan dan kesihatan di kawasan luar bandar. Tangkak ingin mencadang kerajaan untuk membantu kawasan-kawasan yang tidak bercukai ini untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal secara bersistem dengan menanggung kos perkhidmatan pembersihan mereka.

Yang Berhormat Tuan Speaker, hospital daerah Tangkak yang bersejarah melebihi 100 tahun adalah sebuah hospital yang menjaga kira-kira 153,000 orang penduduk di daerah Tangkak. Disebabkan kelengkapan hospital yang tidak mencukupi, ramai pesakit di daerah Tangkak terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar. Keadaan ini telah menyebabkan kadar penggunaan katil di Hospital Tangkak sangat rendah dan mungkin kerana kadar yang rendah ini telah menyebabkan Kementerian Kesihatan tidak menaik taraf Hospital Tangkak sehingga hari ini. Oleh itu, Tangkak mohon jasa baik Jabatan Kesihatan untuk mengkaji kekurangan di Hospital Tangkak dan seterusnya membantu untuk mengesyorkan permohonan untuk menaik taraf Hospital Tangkak supaya ia boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik dan pesakit di daerah ini tidak perlu lagi mengambil perjalanan yang jauh untuk mendapatkan rawatan di hospital di daerah Muar.

Yang Berhormat Tuan Speaker, mengikut jadual pakar yang bertugas di Hospital Tangkak, Hospital Tangkak adalah merupakan sebuah hospital daerah tanpa pakar. Oleh itu, jadual pakar yang menjalankan rawatan adalah seperti berikut, untuk kepakaran pediatrik, neflorogi dan ortopedik, doktor pakar melawat sebulan sekali. Yang satu lagi, yang menarik adalah kepakaran perubatan kecemasan. Cuma dua bulan sekali. Jadi saya berharap, Jabatan Kesihatan dan juga Kementerian Kesihatan dapat menambahbaikkan atau menerapkan jadual ataupun kekerapan doktor pakar untuk merawat di hospital daerah Tangkak.

Tangkak juga mencadangkan sebahagian dari klinik-klinik pakar yang sekarang terletak di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar boleh dipindah ke Hospital Tangkak bagi mengatasi masalah kesesakan di Hospital Muar, memandangkan hospital Tangkak mempunyai ruang yang mencukupi. Permohonan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Jalan Paya Mas Tangkak ke Klinik Kesihatan Jenis 3 sudah lama di bentang kepada Kementerian Kesihatan. Jadi, Tangkak harap Jabatan Kesihatan Negeri boleh memberi maklumat terkini berkenaan dengan status permohonan tersebut.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terdapat 88 sekolah kerajaan di dalam daerah Tangkak dengan lebih daripada 23,000 orang murid dan 2,300 orang cikgu. Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak dirujuk pengoperasi tersendiri mulai 1 Januari 2014. Menerusi pewujudan daerah Tangkak pada tahun 2007. Seramai 66 perjawatan daripada Kementerian Pendidikan telah berkhidmat di PPD Tangkak yang beroperasi mengguna 2 blok asrama lama dua tingkat dan juga blok dewan makan dan dapur masak asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat, Tangkak. Dengan ruangan sedia ada yang agak sempit dan kurang selesa, serta kekurangan kemudahan ruang kerja, blok asrama lama dua tingkat tersebut telah menempatkan pejabat-pejabat pegawai, pejabat pentadbiran dan pejabat bagi semua unit. Masalah parking juga berlaku kerana ruang lapang yang terhad bagi menempatkan kenderaan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak serta tiada ruang bagi pelanggan yang berurusan di PPD Tangkak. Oleh itu, Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak memerlukan sebuah tapak yang mencukupi untuk pembinaan bangunan baru PPD dan ruang lapang serta ruang parking untuk staff PPD dan pelanggan. Terdapat sebuah tapak rizab pendidikan di atas Lot 13731, Mukim Tangkak, Daerah Tangkak yang berkeluasan 3.5 ekar terletak di jalan utama Taman Tangkak Jaya di cadang boleh diguna oleh PPD Tangkak untuk bangunan baru mereka. Tangkak berharap dengan

berjaya pembinaan bangunan baru Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak ini, dapat memastikan pengurusan pendidikan yang efisien serta kebajikan warga kerja PPD yang terpelihara.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Daerah Tangkak merupakan pintu masuk utara negeri Johor. Mereka yang datang ke Johor dari Lebuhraya Utara-Selatan atau keluar dari Johor perlu melalui bandar Tangkak. Daerah Tangkak juga terkenal dengan hasil-hasil tanaman pertanian termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, getah dan kelapa sawit. Gunung yang paling tinggi di selatan semenanjung Malaysia juga terletak di daerah Tangkak iaitu Gunung Ledang. Gunung ini adalah sebuah gunung yang mempunyai legenda. Gunung yang mempunyai seorang puteri iaitu Puteri Gunung Ledang. Ramai pelancong suka mandi manda di air terjun Gunung Ledang dan pendaki gunung juga suka mendaki di Gunung Ledang. Tangkak berterima kasih kepada kerajaan negeri Johor kerana telah memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur pelancongan di Taman Negara Gunung Ledang, Tangkak. Tangkak percaya peruntukan ini dapat membantu menjaminkan Taman Negara itu sentiasa dalam keadaan yang indah, bersih dan mesra kepada pelancong dan dapat menarik lebih ramai pelancong untuk merasai keindahan alam semula jadinya. Tangkak berhasrat menjadikan bandar Tangkak sebagai sebuah pintu masuk pusat pelancongan utara Johor. Mohon kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Tempatan supaya menyediakan sebuah tapak berdekatan dengan Plaza Tol Tangkak yang boleh dijadikan sebagai bazar agro atau FAMA kekal yang boleh diguna oleh petani-petani untuk menjual hasil tanaman mereka bagi menambah pendapatan petani setempat.

Industri pengeluaran buah-buahan tempatan menjadi makanan dan minuman juga boleh digalakkan oleh kerajaan kerana industri ini bukan sahaja akan menstabilkan harga pasaran hasil tanaman, ia juga adalah satu lagi saluran pemasaran hasil bagi petani. Satu masalah yang sering membimbangkan...

Speaker

Rasa dah, dah 20 minit ya. Tolong gulung.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ok. Sebuah masalah yang sering membimbangkan petani di negeri Johor adalah masalah tanah untuk menanam. Semakin banyak pertanian telah diubah syarat kepada tempat kediaman dan komersial. Dan telah mengakibatkan ramai petani tidak dapat menerus atau memperluaskan tanah tanaman mereka. Tangkak bercadang supaya tanah-tanah rizab kerajaan yang sesuai dan masih tiada rancangan pembangunan dalam 10 tahun yang akan datang, boleh disewa kepada petani-petani yang berminat untuk bidang tanaman jangka masa pendek, supaya mereka dapat menjanakan pendapatan dan ia penting untuk sosioekonomi rakyat Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Tangkak mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri dalam mereformasikan sektor perumahan dalam negeri. Langkah ini dipercayai akan berjaya mencapai sasaran penyediaan 100,000 buah rumah mampu biaya menjelang tahun 2023. Untuk mencapai sasaran ini, usaha dari pihak pemaju juga amat penting. Cuma dengan kerjasama dan hubungan erat antara pemaju dan kerajaan negeri Johor barulah rakyat Johor dapat memiliki kediaman impian mereka. Oleh itu, Tangkak berharap Pihak Berkuasa Tempatan harus mengeratkan lagi hubungan mereka dengan pemaju-pemaju setempat. Mengkoordinasi dengan lebih rapat dengan pemaju supaya projek pembangunan perumahan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar. Kami tidak mahu berlaku permohonan pembangunan perumahan yang dibuat oleh pemaju di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan menghadapi masalah seperti memerlukan masa yang sangat panjang untuk diluluskan. Tangkak menerima beberapa aduan terutama dari kawasan sekitar kawasan Muar yang mengadu bahawa permohonan mereka yang melebihi satu tahun masih tidak dapat di bentang ke Jawatankuasa OSC PBT disebabkan masih dalam proses, proses pre-consult bawah Bahagian Perancang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Majlis PBT adalah pasukan paling depan mewakili kerajaan negeri dalam berhubung dengan rakyat. Tugas mereka bukan sahaja sebagai penggubal dasar di dalam Kerajaan Tempatan tetapi juga sebagai penjaga kawasan yang perlu menangani aduan-aduan dari rakyat. Oleh itu, tugas mereka adalah sangat penting dan berat tetapi dengan elaun yang terlalu rendah adalah sangat tidak seimbang dengan tugas dan kerja mereka. Tangkak berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula elaun Ahli-Ahli Majlis PBT supaya pengorbanan mereka dapat dibalas dengan peningkatan elaun.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam belanjawan sulung bagi kerajaan Pakatan Harapan negeri Johor ini bermatlamat untuk memenuhi aspirasi rakyat demi negeri kita. Bagi membantu rakyat Johor mendepani cabaran semasa dan masa depan. Oleh itu, dalam belanjawan ini kerajaan telah melalui

207 titik fokus yang melibatkan 28 sektor telah menggariskan satu jaminan pembangunan ekonomi yang mampan bagi memastikan harapan rakyat Johor untuk hidup dengan lebih sejahtera, bahagia dan makmur dapat dipenuhi.

Akhir kata, belanjawan ini yang di bentang oleh kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor telah menggariskan hala tuju pembangunan negeri untuk tahun yang akan datang. Sebagai seorang anak bangsa Johor, kita haruslah berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan belanjawan ini dapat mencapai matlamatnya dan akhirnya memanfaatkan seluruh rakyat negeri Johor. Dengan ini, Tangkak mohon menyokong usul yang telah di bawa oleh Yang Berhormat DUN Tenang. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih kepada Tangkak. Seterusnya, Endau.

Terima kasih YB Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Pertama-tama Endau mewakili rakyat Mersing menjunjung kasih sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada 22 November yang lalu. Semoga Allah SWT melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan negeri Johor kekal aman, makmur, maju dan rakyatnya hidup bermuafakat di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Endau juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor yang telah dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor pada 22 November 2018 sempena ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Yang Berhormat Speaker, Endau mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana telah berjaya merancang, menganjur, mengunjur dan mengurus perbelanjaan negeri Johor bagi membentangkan belanjawan kerajaan negeri pada 29 November yang lalu. Endau juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kepimpinan kerajaan negeri kerana tidak melupakan Mersing terutamanya Endau dalam segala perancangan pembangunan dan Endau amat berpuas hati dengan segala pengumuman peruntukan pembangunan yang akan diturunkan ke Mersing. Sesungguhnya kepada Allah Endau berserah, mendoakan segala apa yang dirancang oleh kerajaan negeri untuk Mersing dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang dirancang.

Yang Berhormat Speaker, dalam perbahasan Endau bulan Ogos yang lalu, Endau ada menyatakan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan keperluan untuk membina bypass dengan izin, disebabkan jalan di daerah Mersing kian sibuk berikutan menjadi jalan penghubung antara negeri selatan dan negeri di pantai timur. Endau juga ada menyatakan akan kerisauan Endau jika berlaku kerosakan atau bencana kepada jambatan Mersing kerana itulah satu-satunya jambatan yang ada menghubungkan dua bandar di Mersing. Endau amat bersyukur kerana dalam ucapan pembentangan bajet negeri baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan untuk membina jambatan atau persimpangan bertingkat yang akan melancarkan pergerakan kenderaan dengan peruntukan sebanyak RM170 juta. Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk membina bypass dengan izin, yang akan memendekkan masa perjalanan melalui Kampung Jemari hingga ke Kampung Siafu, Jalan Endau.

Bagi menyelesaikan masalah yang Endau risaukan, jumlah keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM180 juta dan Endau mewakili orang Endau dan Mersing mengucapkan terima kasih dan berharap ianya dapat dilaksanakan sesegera mungkin. Endau pasti dengan adanya jambatan dan bypass dengan izin ini, maka kesesakan terutamanya di musim perayaan dapat ditangani dan memberi keselesaan kepada semua pengguna jalan raya dan masyarakat di sekitar Mersing. Di sinilah yang Endau ingin tekankan bahawa kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor amatlah prihatin dan sentiasa mengutamakan rakyat negeri ini sejajar dengan slogan Negeri Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari, Dari Rakyat Untuk Rakyat Untuk Rakyat Kepada Rakyat.

Yang Berhormat Speaker, menyedari akan Mersing merupakan sebuah daerah pelancong dan perikanan bagi negeri Johor, Endau juga ada menekankan isu berkaitan muara Sungai Mersing. Dalam kebimbangan ini, Endau bukan sahaja memikirkan bagaimana pengoperasian feri untuk membawa pelancong ke pulau akan tetapi akan nasib nelayan untuk keluar masuk ke laut. Struktur dan bentuk muara yang cetek menyebabkan para nelayan dan pengusaha feri terpaksa keluar masuk mengikut waktu pasang surut air laut berbanding muara Tanjung Gemok yang mana nelayan dan

pengusaha feri tidak menghadapi halangan untuk keluar masuk muara pada bila-bila masa sahaja. Endau sekali lagi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk projek-projek pemecah ombak di muara Sungai Mersing. Endau berharap peruntukan sebesar ini merangkumi juga pendalaman dan pelebaran muara Sungai Mersing. Sudah pasti Endau juga berharap agar projek ini dapat dilaksanakan oleh kontraktor yang berwibawa serta berpengalaman agar projek ini dapat berjalan tanpa sebarang masalah yang mana akhirnya memberi kelewatan dan pembaziran kos. Diharapkan dengan berjayanya projek ini maka aktiviti perikanan dapat dirancakkan dan pengusaha feri dapat bergiat dengan penyediaan feri yang lebih kerap untuk membawa pelancong ke pulau-pulau. Sudah pasti ekonomi di pulau dan bandar Mersing akan meningkat dengan kehadiran pelancong dan akan melonjak naik serta memberi kesan kepada kadar bacaan kemasukan pelancong ke negeri Johor. Sebenarnya, bila segala kemudahan infrastruktur kita dapat sediakan dan memberikan keselesaan, maka Endau yakin Mersing mampu berdaya saing seperti pusat tumpuan pelancongan di negeri lain. Hal ini kerana Mersing mempunyai pelbagai tarikan dari gunungnya, pantainya, pulaunya sehinggalah ke Taman Negara. Jadi, kita berusaha, jika kita berusaha mendirikan segalanya, maka tidak mustahil Mersing berkembang dengan begitu baik, malah memberi pulangan yang besar kepada kerajaan negeri.

Endau juga berharap, promosi pelancongan ke negeri Johor dapat diperhebatkan lagi terutamanya ke daerah Mersing. Baru-baru ini Endau memerhatikan di Airport Senai, dengan izin, promosinya lebih kepada mempromosikan negeri Terengganu. Endau juga berharap dipasangkan billboard yang besar dan juga diletakkan di sepanjang perjalanan ke daerah Mersing yang mana ia akan menggambarkan dan memaparkan gambar dan info-info kepulauan dan juga di daerah Mersing. Endau juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak ECER kerana meneruskan segala projek yang telah dirancang melibatkan kawasan di daerah Mersing dan di Endau khususnya.

Endau sering berkunjung ke Tanjung Penyabong bagi melihat sendiri kerja-kerja menaik taraf kawasan tersebut seperti medan perniagaan, jeti tambatan, jeti pelancongan serta kawasan rekreasi yang lebih tersusun dan moden. Dengan kemudahan dan bangunan yang lebih tersusun, Penyabong kini akan dilihat lebih menarik dan selesa dikunjungi penggemar makanan laut dan para pemancing. Endau juga mohon dimasukkan juga pembangunan di Pantai Tanjung Kempit, Kampung Belukar Juling, yang mana pantainya amat indah dan mendamaikan dan satu lagi tarikan yang Endau dapati yang boleh menaikkan pelancongan di Mersing adalah di kawasan Pantai Rekreasi Gunung Arong berhampiran dengan Air Papan.

Baru-baru ini, Endau telah dijemput oleh pihak Jabatan Perhutanan sewaktu mereka menjalankan kerja-kerja menanam pokok ru di kawasan rekreasi tersebut dan Endau yakin sekiranya ia dibangunkan dengan prasarana yang lebih kondusif, pantai tersebut boleh berubah seperti Pantai Nami Island, Korea.

Endau amat menyambut baik pembangunan yang melibatkan projek-projek pertanian dan industri asas tani seperti lembah tenusu yang akan dibina di Jemaluang yang mana sebanyak RM70 juta telah diumumkan bagi merealisasikannya. Sudah pasti, sebagai Wakil Rakyat DUN Endau, Endau sentiasa menyokong segala usaha pembangunan yang dirancang bagi merancakkan industri di daerah Mersing di mana akhirnya banyak peluang pekerjaan dapat disediakan untuk orang Mersing dan Endau. Dalam itu, pengumuman Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sebanyak RM26.5 juta bagi Projek Taman Pemprosesan Ikan Endau, Fasa 2 oleh ECER amatlah Endau sambut baik. Seperti kecil-kecil tapak tangan seluas laut Mersing Endau tadahkan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Endau juga mengambil kesempatan untuk merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk negeri Johor Darul Ta’zim yang telah mengurniakan tanah Baginda seluas 300 ekar untuk menempatkan semula pusat pentadbiran baru daerah Mersing di Jemaluang. Endau yakin dengan penempatan semula yang memusatkan beberapa jabatan di peringkat negeri dan pusat, maka segala proses akan lebih mudah dan cepat serta tahap penyampaian perkhidmatan kepada penduduk Mersing dapat ditingkatkan.

Sesungguhnya keprihatinan Baginda Tuanku terhadap keperluan ini menggambarkan rakyat sentiasa di hati Baginda dan benarlah ungkapan Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada, Daulat Tuanku Allah Peliharakan Sultan.

Yang Berhormat Speaker, Endau mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat Benut pada kami bertiga, Endau, Sedili dan Johor Lama. Endau tidak pernah lupa dan sentiasa muhasabah diri bahawa kemenangan kami tempoh hari dalam PRU 14 adalah melambangkan Barisan Nasional iaitu UMNO. Sebagai seorang Islam, Endau yakin setiap yang berlaku itu adalah kehendak Allah SWT dan pasti ada hikmah di sebaliknya. Pada peringkat awal, Endau menganggap ianya seperti sebuah mimpi ngeri. Banyak rintangan yang Endau lalui dan hadapi, tetapi syukur alhamdulillah semua itu dapat diatasi dengan izin Allah SWT.

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang sentiasa prihatin kepada permasalahan kami di Mersing, khasnya di Endau. Dengan lain perkataan, apa yang Endau lakukan tidak lain dan tidak bukan adalah demi rakyat di Mersing, khasnya di kawasan DUN Endau. Ketika ini, sokongan yang tidak berbelah Endau terima setelah rakyat melihat dah memahami situasi masa kini.

Untuk makluman jua, peruntukan yang Endau terima juga turut diagihkan sedikit kepada pengundi di DUN Tenggaroh khususnya pihak PIBG dan NGOs. Endau juga berharap untuk tahun 2019, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bolehlah menambah sedikit peruntukan kepada DUN Endau. Sokongan berterusan juga Endau terima daripada rakyat Mersing yang tinggal di luar negeri Johor, alhamdulillah. Endau amat setuju dengan Yang Berhormat Bukit Permai sebagai Wakil Rakyat sama ada Wakil Rakyat kerajaan ataupun pembangkang, kita dinilai dan diperhatikan oleh rakyat. Mereka pastinya berharapkan kerajaan yang baru ini dapat melaksanakan lebih baik, lebih cemerlang daripada kerajaan yang lama. Seperti mana YB Bukit Permai sebut semalam, kalau dalam tempoh 60 tahun pemerintahan kerajaan yang lama boleh tumbang, inikan pula kerajaan yang baru setahun jagung.

Endau ingin mengucapkan terima kasih atas penerimaan Wakil Rakyat Pakatan Harapan yang menerima kami seadanya. Endau juga amat berterima kasih atas kerjasama erat yang diterima daripada jabatan-jabatan kerajaan di daerah Mersing seperti Pejabat Daerah, Majlis Daerah Mersing, Pejabat Tanah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, RELA, Pertanian, RISDA, PPD, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Hospital, Polis, JPS, JKR dan juga Kesihatan. Dengan kebersamaan ini, Endau melihat suatu yang sangat positif untuk Mersing, khasnya DUN Endau terus cemerlang melaksanakan dan merealisasikan visi dari rakyat untuk rakyat kepada rakyat.

Akhir kata, Endau berharap segala apa yang dirancang oleh kerajaan negeri untuk daerah Mersing, dipermudahkan oleh Allah hendaknya. Hal ini, kerana apa yang kita usahakan pada hari ini, apa yang kita perjuangkan pada hari ini, adalah untuk keselesaan di kemudian hari. Biarlah hari ini kita bermandi peluh, memerah keringat demi memastikan negeri yang kita cintai ini membangun dengan jayanya. Marilah kita bermuafakat sederap dan sepakat bersama menjayakan apa yang dirancang oleh kerajaan negeri pada ketika ini.

Sekali lagi Endau ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas segala pengumuman untuk Mersing dan Endau dan Endau juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker atas ruang dan peluang yang diberikan kepada Endau untuk berbahas. Sekian, Endau menyokong.

Speaker

Terima kasih Endau. Seterusnya Sri Medan.

Bismillahirrahmanirrahim (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Muafakat Johor. Pertama sekali saya ingin mengucap terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker yang memberi peluang kepada Sri Medan untuk berbahas dalam sesi perbahasan Dewan Negeri Johor pada kali ini dan juga saya ingin merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas ulang tahun keputeraan rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim.

Yang ketiganya, tak ada pula MB, tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah membentangkan bajet 3 jam, melebihi pengumuman bajet federal. Saya ingat satu keupayaan yang luar biasalah, Yang Berhormat Menteri Besar. Dan saya ucap terima kasih walaupun ada di kalangan rakan-rakan menyebut bahawa 85% daripada bajet yang dibentangkan seperti sama apa yang kita telah lakukan yang lepas. Jadi, saya beritahu rakan-rakan, tak apalah, dia nak guna pun tak apa, yang penting pahala kita dapat. Alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Menteri Besar pun maklum...

Speaker

Tapi, kalau selalu sebut nanti pahala kurang.

Speaker

Kalau sebut selalu, nanti pahala kurang.

Tak apalah, sekurang-kurangnya kita beritahu niat apa yang kita lakukan sebenarnya diterima oleh pihak Pakatan Harapan pada hari ini. Dan saya dapat makluman daripada pihak sebelah sana manifesto kerajaan negeri telah selesai 100%. Oklah, tak ada masalah, kita pun sedia terima apa yang telah dilaksanakan oleh Pakatan Harapan selama ini, lebih kurang 6 bulan lebih, tetapi saya nak mengingatkan rakan-rakan di pihak Pakatan Harapan, bahawa walaupun kerajaan negeri Johor telah selesai melaksanakan manifesto, kerajaan negeri Johor juga perlu bertanggungjawab dengan manifesto di peringkat persekutuan kerana banyak yang masih belum dilaksanakan.

Saya lihat bahawa apa yang di maklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebelum ini bahawa tidak semua yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan mungkin akan dituruti oleh kerajaan negeri. Contoh yang paling ketara, seperti yang lepas, dia kata, ICERD, saya setujulah, itu sokong, saya tiada masalah. Bila ICERD, dia kata memang dia menentang keras, jadi kita di pihak pembangkang pun kita menerima apa yang diperkatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Jadi untuk manifesto kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga perlu sama-sama memberi penekanan kepada untuk laksanakan Manifesto 100 hari mereka. Kerana rata-rata rakyat pada hari ini, memang menantikan apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan persekutuan. Kalau kita sendiri di pihak pembangkang, dulu kerajaan Barisan Nasional, saya ingat rata-rata rakyat tertipu apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini.

Saya harap kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan dengan apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan persekutuan pada hari ini. Kerana tugas yang perlu dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan di negeri Johor adalah amat berat kerana rakyat pada hari ini sentiasa ternanti-nantikan apa yang boleh mereka terima dengan janji-janji manifesto yang lalu yang telah dibuat.

Saya juga ingin melihat bahawa, tertarik dengan apa yang dikatakan oleh rakan-rakan di pihak kerajaan. Saya sempatlah tengok daripada Yang Berhormat Pekan Nanas, Yang Berhormat Mengkibol dan juga Yang Berhormat Pemanis. Setiap apa yang diperkatakan sebelum ini daripada sesi yang lepas perbahasan, setiap kali apa yang dikatakan mesti menyalahkan kerajaan pada yang lepas. Tak ada satu pun patah perkataan itu tertinggal, setiap YB-YB yang bercakap, dia mesti menyalahkan kerajaan yang lepas. Apa yang kita lakukan semua salah, tapi ini ada satu cerita, Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya pun bila semalam sepanjang sesi perbahasan Yang Berhormat di pihak kerajaan, dia asik menyalahkan kita aje, sesi yang lepas dia kata kerajaan yang lepas salah, sebab itu rakyat marah. Saya tadi pergi ke Petronas Machap, saya berhenti, pintu tandas lelaki tu tak buka, dia kata, mohon maaf kerana tandas rosak. Saya pun secara tak langsung, saya pun menyalahkan inilah kerja kerajaan Pakatan Harapan. Kat situ saya cakap semua kesilapan apa semua dia akan letak pada kerajaan yang lepas.

Saya ingat sebenarnya, apa yang sepatutnya, kerajaan pada hari ini buat, kita terima hakikat apa yang telah berlaku. Kerajaan hari ini sepatutnya menjalankan tanggungjawab bagaimana untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah yang terbaik. Kerana kerajaan pada yang lepas, dia melakukan berdasarkan mungkin keadaan ketika itu. Dasar-dasar yang dilaksanakan pada ketika itu sesuai. Contoh yang saya nak beritahu kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Mengkibol selalu dia kata dia beri contoh korporat, korporat. Kalau dulu korporat, saya ingat tidak ada guna kalkulator kalau berniaga pun. Tapi dulu guna sempoa. Itu berbeza dulu dengan sekarang. Tapi hari ini, bila rakyat nak memilih kerajaan Pakatan Harapan, kita terima dengan hati terbuka. YB Machap, dia kata, dia kata kita nak jadi pembangkang yang baik, tapi janganlah pusing sana, pusing sini akhirnya menyalahkan kita. Ini saya rasa bukan satu perkara yang sihat dan kita mahu hari ini kita bekerja bersama walaupun saya di pihak pembangkang, kita di pihak pembangkang dan pihak kerajaan pada hari ini kita nak sama-sama membela rakyat. Kita mahu rakyat dibela. Kalau soal-soal yang untuk kepentingan rakyat, kepentingan agama, kepentingan bangsa, kita akan tegas untuk kita pertahankan. Kerana inilah tujuannya pemimpin dipilih oleh rakyat dan saya harap dengan adanya pihak pembangkang pada hari ini walaupun rakan kita yang tiga orang saya tak ada komenlah. Tak ada komen. Ha esok cakap, cakap yang baiklah pasal kita pun tak nak burukkan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tiga orang ini. Kerana itu terpulang, kerana rakyat esok akan menilai lagi lima tahun.

Speaker

Yang Berhormat, Yang Berhormat, Yang Berhormat tak berminat ke?

Speaker

Tak berminat ke?

Soalan itu susah. (Ketawa) Soalan itu nak jawab susah, kerana kalau…

Speaker

Tapi niat ada? Niat ada? Niat ada tak niat?

Niat belum ada. Keinginan itu macam ada.

Speaker

Ha, bagus.

Luaran sahaja, niat belum ada. Saya nak berbalik semula kepada apa yang diperkatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pasal isu ICERD ini dah banyak sangat dah. Isu ICERD ni sebenarnya, ia melibatkan perpaduan antara kaum yang telah kita bina sebelum 1946. Bagaimana dulu Malayan Union cuba ditubuhkan dalam negara kita, yang mana ketika itu, Malayan Union ditentang keras oleh orang-orang Melayu. Saya ingat ada satu, apa saya nak baca sikit, satu fakta daripada Tun Sambathan. Saya Tun Sambathan inilah saya boleh dapatkan pasal MCA ini, siapa tadi dia punya presiden, Tan Cheng Lok, MCA sekejap nak keluar sekejap nak masuk BN, kita pun tak nak beri contoh. Presiden MIC daripada 1955 sampai 1973, saya nak kongsi bersama dengan rakan-rakan apa Yang Berhormat Kahang, Yang Berhormat sebelah sana, kata-kata yang boleh kita ungkapkan jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon atau di Sri Lanka dan tidak akan diterima di Burma. Bagaimana orang Rohingya dan lihat saudara kita kaum cina, mereka tidak diterima di Thailand, di Vietnam dan Kemboja dan di negara-negara lain.

Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa Melayu, ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh jumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain bangsa Melayu? Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Ini yang dikatakan oleh Tun Sambathan. Sebab itu, soal ICERD dan sebagainya, saya ingat kalau kita lihat pada hari ini, kaum cina, kaum India semua boleh cari makan. Daripada 1946, setelah kita merdeka 1957, tak ada masalah, nak berniaga, meniagalah. Anak Cina anak kita, anak Melayu anak kita, anak India anak kita kerana kita dah senang, kita dah tahu apa yang kita telah buat lakukan daripada sejak nenek moyang kita dulu. Sebab itu isu ICERD ini kalau tuan-tuan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya setuju dengan Yang Berhormat Menteri Besar bahawa kita kena pastikan tak kira daripada pihak kerajaan ataupun pihak pembangkang, kita kena pastikan kita akan tolak sekeras-kerasnya meratifikasikan ICERD. Itu pendirian kita, kerana kita mahu soal kemakmuran, keamanan jangan sekali-kali kita ambil ringan kerana inilah yang telah kita bina daripada dulu dan kita harap dengan adanya persefahaman antara semua kaum, antara India, Cina dan Melayu kita kekalkan sampai bila-bila.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker, saya melihat bahawa...

Speaker

Belum ada Tan Sri lagilah.

Speaker

Belum ada Tan Sri lagi. (Dewan ketawa).

Saya selalu tersilaplah. Saya rasa insya-Allah mudah-mudahan dapatlahkan. Saya tak tahulah mungkin sama-sama jawalah saya ingat. (Dewan ketawa).

Speaker

Dah salah tu salahlah. (Dewan ketawa).

Dia ciri-ciri yang sama, kita ramai kat sini Yang Berhormat Tuan Speaker, banyak rakan saya di Bukit Naning, rakan saya Machap semua kita jawa, ciri yang sama.

Ok saya teruskan Yang Berhormat Tuan Speaker, apa, keamanan yang kita ada ini, soal kita mempertahankan agar kita sama-sama proses untuk meratifikasikan ICERD kita tolak, kita jadi anti ICERD, sebenarnya saya nak lihat, saya nak kerajaan yang pada hari ini, kerajaan yang sentiasa berjiwa besar. Kerajaan yang boleh menerima apa juga pandangan dan sebagainya. Saya suka mengambil contoh negara-negara luar, kadang-kadang kita cakap kita nak jadi seperti Amerika, kita nak jadi seperti UK tapi tak pernah kita lihat bila ada perubahan kepimpinan di Amerika ke, di UK ke dan sebagainya, pemimpin diheret, laporan sana sini tak betul, itu tak betul kerana masing-masing dia mempunyai kemahiran dan juga kemampuan mereka untuk melaksanakan pentadbiran dengan cara mereka. Saya tak adalah tengok, kalau kita tengok Donuld Trump sendirikan, baik perubahan Amerika perubahan daripada Barack Obama kepada Donuld Trump, tak adalah Barack Obama diheret, itu tak betul, ini tak betul, di UK, di Australia, tapi yang berlaku perpecahan, yang berlaku permusuhan, adalah negara-negara Islam. Contoh Libya, Iraq, Syria, kerana apa? Campur tangan daripada tangan-tangan ajaib yang nak melihat kita berpecah. Negara kita negara Islam, jadi kita kekalkan kekuatan kita tanpa mengira bangsa, anda Cina ke, India ke, Melayu, kita kena pastikan bahawa kita mesti bersatu untuk pertahankan negara kita. Jangan kita berpecah sajalah. Belanjawan ada, dah bentang 2019 kita akan nilai sama-sama. Pada 2019, selesai 2019 kita akan tengok soal kebudayaan, keusahawanan ke, pertanian dan sebagainya, tengok. Kerana rakyat hari ni dia mendambakan sesuatu yang luar biasa lebih baik daripada kerajaan yang terdahulu.

Kalau kata tadi Yang Berhormat Machap kata harga sawit turun, eh fikirlah macam mana nak pastikan sawit itu boleh naik. Kita tengok sahaja ini. Kalau kata membebankan anak-anak muda yang apa, tidak boleh bayar PTPTN, kerajaan negeri kena bantulah, fikir macam mana nak bantu orang muda. Keusahawanan, fikir macam mana nak bantu anak-anak muda berniaga. Sawit ini saya ingat lebih daripada 60% yang bertani, yang berkebun di dalam negeri kita Johor ini adalah hasil daripada sawit, orang-orang kampung. Saya fikir dalam soal hari ini, macam mana kita nak membela kalau dulu saya memang tak ada matlamat Yang Berhormat Tuan Speaker, saya tak adalah menyalahkan kerajaan hari ini, cuma kejadian berlaku bila harga sawit jatuh, mungkin harga komuniti dunia, tapi hari ini tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan fikir bagaimana nak menangani sara hidup yang semakin tinggi dengan harga sawit semakin jatuh. Kalau dulu kita ada RM400 lebih harga satu tan, tapi hari ini harga tinggal berapa? RM200. Takkan kita nak tengok sahaja. Rata-rata sini semua wakil rakyat, tak kiralah Cina ke, Melayu ke, India, kita semua mewakili rakyat. Saya mewakili bukan orang jawa sahaja, orang Melayu sahaja, saya mewakili orang Cina, orang India. Jangan kita anggap bahawa apa yang berlaku hari ini sebenarnya satu yang menjadi apa, tanggungjawab sebelah pihak. Kena fikir sama-sama bagaimana kita nak menangani kos sara hidup.

Jadi Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ada beberapa perkaralah yang nak sentuh sikit tentang belanjawan. Saya ingat yang pertama sekali, saya dulu ada pernah mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor dan telah bersetuju iaitu tentang pembinaan galeri Pak Matlob yang dicadangkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah. Dan saya difahamkan ada satu surat hitam putih yang katakana galeri itu akan, telah dibatalkan. Saya pun tidak tahu sebab apa, apa salah arwah Pak Matlob tu. Arwah Pak Matlob Yang Berhormat Tuan Speaker pun kenal ya? Pejuang tulisan jawi, pejuang bahasa, bukan kata peringkat Semerah sahaja, bukan kata peringkat negeri Johor, peringkat nasional, semua orang tahu. Tapi kenapa galeri Pak Matlob itu dibatalkan? Atas sebab apa? Adakah ia bukan tanggungjawab kerajaan negeri pada hari ini? Saya harap kerajaan negeri kena beri pertimbangan dan saya nampak dalam pembentangan bajet ada beberapa yang apa, ada beberapa peruntukan yang dikhaskan, contohnya untuk warisan dan sebagainya. Saya harap dapat beri keutamaan. Dulu kita cadangkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah. Kita cadangkan di situ, tapi dikhabarkan oleh pihak sekolah bahawa galeri itu terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab peruntukan. Saya ingat kena fikirlah. Bukan senang. Saya ingat beribu khazanah daripada arwah Pak Matlob ini, dia bukan orang politik, dia pun tidak pernah menunjukkan sokongan dia masa hidup pada mana-mana parti, tapi hari ini kalau dah siap, nak panggil Yang Amat Berhormat Menteri Besar rasmikan pun tidak apa, saya tidak dijemput pun tidak apa, EXCO ada dan sebagainya. Yang penting, pejuang jawi, pejuang bahasa kena kita martabatkan. Saya tahu di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat sendiri pun bukan semua boleh bertulisan jawi. Kalau ada tulisan jawi baik yang kaum Cina pun saya kasi RM100 lah Yang Berhormat, kalau boleh, kerana kita nak tulisan jawi itu tulisan yang digunakan daripada dulu, di istana, surat menyurat dan sebagainya kita kekalkan sampai bila-bila.

Yang Berhormat Tuan Speaker, tentang pengumuman bajet daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, ada beberapa perkara pentinglah saya ingin kongsi sama-sama, iaitu tentang rumah mampu biaya, dulu rumah mampu milik. Rumah mampu biaya ini sebenarnya daripada yang kita lihat, kebanyakannya dibina di kawasan-kawasan bandar. Bukan di kawasan-kawasan luar bandar. Contoh, di kawasan saya, saya ingat kalau di kawasan saya, di kawasan Parlimen Parit Sulong, di kawasan Sri Medan, saya ingat tidak lebih daripada 50 unit pun. Tapi bagaimana nak menangani migrasi anak-anak muda ke luar bandar kerana kita nak anak-anak muda mengimarahkan kampung, berkebun dan sebagainya. Bagaimana kerajaan hari ini, kerajaan negeri untuk memikirkan rumah-rumah mampu biaya ini boleh dilaksanakan di kawasan luar bandar? Bukan mudah. Saya tahu kalau rumah mampu biaya, kalau dulu rumah mampu milik sebenarnya figure yang ada itu bergantung kepada pemaju-pemaju yang memajukan tanah-tanah. Ia bukan daripada kerajaan, kerajaan adalah certain percent. Tapi saya harap kerajaan negeri melalui GLC dan sebagainya cuba fikir bagaimana untuk membina rumah mampu biaya di kawasan luar bandar.

Seterusnya soal gelandangan. Gelandangan ini tadi ada disebut oleh Yang Berhormat mana tadi, saya setujulah dalam ketika saya EXCO yang lepas pun, bila saya berjalan dan sebagainya, gelandangan ini banyaknya berlaku di kawasan bandar sahaja. Kawasan luar bandar tidak ada. Kenapa berlaku gelandangan itu di kawasan bandar? Di kawasan luar bandar mana ada, kecuali orang yang mungkin tadi siapa cakap macam YB EXCO Aminolhuda, dia kata mungkin pemikiran tak waras dan sebagainya. Kadang-kadang kita tengok pemikiran tak waras, bila menyeberang jalan tahu pula melintas tengok kereta di kiri dan kanan. Itu kena fikir, kadang-kadang kita tengok gelandangan ini dah macam apa. Bila kita hantar makan, dia boleh makan, boleh ambil, bukan di hantar makanan dia buang, tidak ada, tapi gelandangan ini sebenarnya ia telah menular ke kawasan pinggir bandar dan dikhuatiri di kawasan-kawasan bandar. Hari ini bandar mungkin adalah, rumah transit dan sebagaimananya, tapi bagaimana nak menangani isu gelandangan? Kerana kalau kita manjakan sangat pun mungkin akan lagi merebak. Malah makin ramai. Gelandangan bukan makin sikit, makin ramai. Tapi itu kita khuatir isu ini akan menular ke kawasan luar bandar.

Seterusnya saya melihat bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada umum tentang bengkel sampul surat, umumkan peruntukan, saya memang terlibat penuh dengan bengkel sampul surat yang berada di Batu Pahat. Cuma saya nak beri cadangan kepada pihak kerajaan pada hari ini, kita ada PDK, di setiap DUN ada PDK, Pusat Dalam Kominiti, saya ingat tiap-tiap YB pun tahu, ada PDK. Saya tengok di situ pun ramai mak bapa kadang tinggal, duduk, tunggu anak dan sebagainya. Cuba kerajaan fikir, bagaimana nak mewujudkan aktiviti kepada ibu bapa yang ada di situ. Kalau dulu kita pernah buat di bawah YPJ, program YPJ ada tanaman cili dan sebagaimana, kita ada buat, tapi nampak dalam bajet pada hari ini tak ada program-program seperti itu. Di bawah Johor Talent dan sebagainya kita ada buat. Tapi hari ini saya harap pihak kerajaan memikirkan bagaimana nak membantu ibu-ibu bapa yang berada di PDK. PDK kalau di, saya ingat di negeri Johor tak kurang daripada 56 PDK.

Seterusnya Yang Berhormat Speaker, muka surat 35, Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada umumkan peruntukan RM23 juta untuk tebatan banjir dan saliran, RM6.3 juta pemuliharaan sungai. Dalam bulan lepas saya ingat ketika banjir yang berlaku di Simpang Renggam dan juga di Sri Medan, rata-rata bila saya pergi, YB Yshahrudin Bukit Naning pun tahu, bila saya pergi dia akan cakap parit tak bersih, parit semak, penuh dengan apa, semak samun. Saya maklum kerana saya pernah lalui perkara ini. Peruntukan daripada pihak kerajaan, pihak kerajaan kepada JPS adalah amat berkurangan. Kadang-kadang setahun baru sekali bersihkan parit, parit dan juga sungai dan sebagainya. Ini tak mencukupi kerana bila musim banjir, baru kita hantar jentera nak bersihkan. Saya ingat perkara ini akan berlaku di banyak tempat. Jadi, kerajaan di bawah agensi JPS kena memikirkan satu kaedah baru bagaimana nak menangani limpahan air yang dah semakin hari semakin banyak. Itu yang kena kita tengok. Bukan kita mungkin ikut yang lama, bacaan yang lama. Mungkin 20,30 tahun tak banjir. Saiz longkang itu mencukupi dan sebagainya. Bukan. Kena ada satu kajian semula bagaimana untuk memastikan bahawa tampungan air boleh diterima oleh parit dan juga sungai yang ada.

Seterusnya Yang Berhormat Speaker, saya nak menyentuh sedikit, tadi ada muka surat 21 ada pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tentang pembinaan sekolah agama. Jadi saya, sekolah agama, saya ada cadangkanlah dahulu kerajaan dahulu tapi tak berjaya, tapi saya yakinlah kerajaan hari ini boleh buat. Sekolah Agama Pematang Rengas, sekolah dah uzur dah di bawah KPRJ ke, di bawah peruntukan mana, saya mohon sekolah ini diberi keutamaan. Dan, yang seterusnya Yang Berhormat Speaker, saya ingat Yang Berhormat Sengarang, dia memang aktif ini sebagai pengerusi apa, saya pun tak tahu, saya lupa...

Speaker

Pengerusi BBC.

Bukan, YB Pengerusi BBC ya. BNBBC pula. PH BBC. Yang Berhormat Senggarang selalu dia bangkitkan tentang pengeluaran tanah, kuari, tanah-tanah yang tak terurus dan sebagainya. Saya ingat berlaku di Kampung Kolam Air, betul Yang Berhormat Senggarang? Selalu perjuangkan. Saya masih mengikuti rapatlah apa yang diperjuangkan. Saya harap pihak Pentadbir Tanah Daerah perlu lebih serius kerana semakin hari semakin apa, semakin banyak kerja-kerja pencerobohan tanah. Jadi perkara ini harap...

Speaker

Lepas azan nanti gulung lepas tu selesaikanlah..

(Berhenti sebentar bagi memberi laluan laungan azan)

Ok, perkara seterusnya, saya ingat telah dibangkitkan lama iaitu tentang balai Bomba di kawasan Parit Sulong, saya minta jasa baik daripada YB EXCO berkaitan untuk bantulah. Balai Bomba, saya ingat pernah dicadangkan iaitu satu kawasan itu, tapi ada masalah di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Yang seterusnya saya ada bangkitkan dengan yang lepas pada Yang Berhormat EXCO Kerja Raya iaitu untuk menyemak semula tentang masjid di Kampung Air Putih dan juga di Kampung Parit Bentong. Masjid dah uzur, sampai sekarang pun nanti Yang Berhormat boleh beri jawapanlah apa statusnya kerana difahamkan dah ada surat mengatakan projek itu dibatalkan. Saya ingat tiada kepentingan pun orang kampung tak ada masalah. Kalau Yang Berhormat nak datang esok pun, saya setujulah kalau untuk pecah tanah dan sebagainya. Yang penting projek masjid itu dijalankan terus. Tidak dibatalkan kerana keperluan yang mendesak. Dan yang terakhir, saya ingin nyatakan di sini saya menyokong penuh Ketua Pembangkang yang memulangkan elaun dan juga pejabat Chief, saya sokong. Saya pun kalau boleh saya nak pulangkan balik status pembangkang itu sebelah sana tapi tak mampu. (Dewan ketawa). Ok, sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Duit yang RM50,000.00 itu tak pulang?.

Eh, RM50,000.00 itu dah habis dah. (Dewan ketawa). RM50,000.00 diberi sebelum umum, diumumkan oleh Ketua Pembangkang. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Dia bijak, dia bijak. Lebih kurang tiga minit. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini. Sekian terima kasih.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari. Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Yang Berhormat Larkin jemput. Eh sorry, sorry, minta maaf. Yang Berhormat Pekan Nanas jemput.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Selamat sejahtera Yang Berhormat Puan Speaker dan rakah-rakan Ahli Dewan sekalian. Pertama sekali Pekan Nanas ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam Perbahasan Belanjawan 2019 Negeri Johor. Pekan Nanas telah meneliti Belanjawan 2019 Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang bertema ‘Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari’ yang berpegang teguh kepada enam teras strategik bagi memacu pembangunan menyeluruh negeri Johor. Ia merupakan belanjawan yang inklusif dan akan memangkinkan pembangunan negeri Johor secara drastik. Tahniah diucapkan kepada Yang amat Berhormat dan Ahli-Ahli EXCO Negeri Johor yang merupakan satu pasukan harapan berjaya membawa perubahan dan menjana harapan kepada semua bangsa Johor walaupun kerajaan Pakatan Harapan hanya memerintah negeri Johor dalam masa setengah tahun.

Belanjawan yang dibentangkan menunjukkan kebolehan kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negeri Johor dengan baik serta berjaya menunaikan semua janji-janji yang tertera dalam manifesto Pakatan

Harapan. Pengalaman bukan faktor utama dalam pentadbiran kerajaan dan kadang kala sesetengah pengalaman tidak semestinya baik. Contohnya, pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional yang berpengalaman dalam skandal rasuah seperti bekas EXCO negeri, bekas Menteri, dan bekas Perdana Menteri. Sekarang sedang beratur menghadap pengadilan di mahkamah dan mungkin perlu menginap bertahun-tahun di Sungai Buloh. Walaupun tidak ada mesin masa tapi isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia agar generasi masa depan tidak akan mengulanginya. Selain itu kerajaan Pakatan Harapan tidak perlu dan memang tidak berniat untuk copy and paste ataupun reclaim, repeat ataupun rebranding Kerajaan Barisan Nasional lama atau pun menggunakan mesin masa untuk menggembali kepada zaman pemerintahan Barisan Nasional yang penuh dengan skandal rasuah.

Yang Berhormat Puan Speaker, Pekan Nanas tidak bersetuju dengan ulasan Benut semalam mengenai kenapa kerajaan Barisan Nasional gagal merealisasikan janji memberi bantuan air percuma kepada 5,000 keluarga dalam bajet-bajet yang lepas. Jika kerajaan Barisan Nasional berniat memberi bantuan untuk meringankan beban rakyat miskin secara ikhlas, penerimaan program air percuma tidak seharusnya dihadkan kepada penerima e-kasih sahaja. Pekan Nanas pernah memberi cadangan untuk meluaskan sasaran penerima bantuan air kepada golongan penerima JKM dalam Dewan yang mulia ini pada lepas. Malah rakan di sebelah sana mengabaikan cadangan tersebut. Adakah golongan yang menerima bantuan dari JKM tidak layak untuk menerima bantuan Program Air Percuma daripada kerajaan masa itu. Sebab itu tidak ada apa-apa alasan yang munasabah kalau kerajaan Barisan Nasional yang lalu gagal mencapai sasaran 5,000 penerima air percuma pada zaman pemerintahan yang lepas.

Rakan-rakan Dewan yang mulia ini, kerajaan Pakatan Harapan dapat meningkatkan penerima program bantuan air percuma daripada 3,000 orang kepada 161 juta. Eh 161,000 orang sejak bulan September 2018 yang lepas. Ini adalah sebab kita memahami kesengsaraan hidup rakyat dan kita berazam tinggi untuk meringankan beban hidup golongan miskin. Ada suatu peribahasa yang dapat mengadakan perbezaan kerajaan Pakatan Harapan dengan kerajaan Barisan Nasional, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Nasib baik sudah tukar kerajaan kalai tidak siapa dapat membela nasib golongan B40 di negeri Johor melalui Program Air Percuma. Kalau harapkan BN, memang habuk pun tak ada. Sampailah hari ini bekas EXCO sudah menjadi Ketua Pembangkang baru malah masih tidak faham bahawa jika kerajaan berhasrat untuk menolong golongan miskin secara ikhlas, mereka boleh mencari pelbagai langkah untuk menyelesaikan masalah dan sekatan yang sedia ada. Sasaran 3,000 orang penerima program air bantuan tidak dapat direalisasikan pada zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional hanya membuktikan kerajaan Barisan Nasional tidak berminat dan tidak memandang berat terhadap kesengsaraan rakyat.

Yang Berhormat Puan Speaker, izinkan saya membuat beberapa cadangan dan menyampaikan pandangan mengenai beberapa perkara yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019. Pertama, kerajaan negeri berhasrat mereformasikan sektor perumahan dengan menyediakan 100,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2023. Sasaran ini merupakan satu cabaran besar memandangkan sebarang perancangan dan pembinaan mana-mana projek rumah mampu milik baru akan mengambil masa yang panjang. Saya bercadang kerajaan Pakatan Harapan mengkaji untuk meng utilize kan semua bangunan dan infrastruktur kerajaan terbiar untuk menjadikan dia sebagai rumah mampu biaya ataupun skim sewa beli. Sebagai contoh, kuarters ibu pejabat daerah Pontian Lama yang terletak di tengah-tengah bandar Pontian kini tidak digunakan sepenuhnya selepas operasinya di pindah ke ibu pejabat Pontian di Jalan Sekolah Arab. Adakah semua bangunan kuarters tersebut masih selamat digunakan? Jika bangunan tersebut disahkan tidak selamat untuk diduduki, ia perlu dirobohkan dengan cepat dan menjalankan pembangunan yang bersesuaian supaya tidak menjejaskan imej bandar Pontian. Jika bangunan-bangunan kerajaan yang terbiar boleh di fully utilize selepas menjalankan kerja-kerja pembaik pulih, maka ia berpotensi untuk menjayakan iltizam kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat.

Kedua, Pekan Nanas menyambut baik dengan inspirasi kerajaan membela kualiti kesihatan rakyat seperti yang disenaraikan dalam Belanjawan 2019. Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan meneliti keperluan untuk menaik taraf Hospital Pontian. Untuk maklum rakan-rakan Dewan, Hospital Pontian adalah suatu hospital yang telah bersejarah seratus lebih tahun. Walaupun kerajaan berancangan untuk menaik taraf hospital sedia ada malah kerajaan perlu berancangan jangka masa panjang dengan membuat persediaan membina hospital baru pada masa yang akan datang. Adalah tidak wajar Rancangan Tempatan Daerah Pontian, Pengubahan 2010 telah menyediakan tapak pembinaan hospital baru di daerah baru di daerah Pontian. Malah dalam draf Rancangan Tempatan Daerah Pontian 2030 yang terkini, cadangan tapak pembinaan hospital baru hilang dalam

perancangan terkini. Oleh itu saya menyeru Jabatan Perancang Bandar dan Desa mengkaji semula dan mencari tapak baru untuk pembinaan hospital baru pada masa yang akan datang. Jika tapak pembinaan hospital baru di dapati tidak sesuai.

Ketiga, usaha kerajaan untuk memperuntukkan RM4 juta untuk pemberian mesin hemodialisis merupakan satu tanda kerajaan memandang berat terhadap masalah yang dihadapi penyakit hemodialisis. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Pekan Nanas tidak ada sebarang pusat hemodialisis dan menyebabkan penduduk perlu bergerak ke bandar Pontian Kecil untuk menerima rawatan. Pesakit hemodialisis terpaksa menerima rawatan sebanyak 3 kali seminggu. Dengan rawatan mengambil masa 3 sampai 5 jam setiap kali. Melainkan memakan masa yang panjang dan kerap ia juga akan menambahkan beban ekonomi pesakit hemodialisis jika pusat hemodialisis berjarak jauh daripada tempat duduk mereka.

Selepas Klinik Kesihatan Pekan Nanas baru siap dibina dan mulai beroperasi, bangunan Klinik Kesihatan Pekan Nenas yang lama tidak digunakan secara sepenuhnya. Pekan Nanas bercadang kepada pihak kerajaan untuk mengubahsuaikan sebahagian bangunan Klinik Kesihatan Pekan Nenas lama yang sesuai untuk menjadi pusat hemodialisis di kawasan Pekan Nanas untuk memudahkan pesakit hemodialisis tempatan menerima rawatan. Peruntukan pembelian mesin hemodialisis juga harap dapat disalurkan kepada pusat hemodialisis baru di Pekan Nanas sekiranya cadangan ini dapat direalisasikan.

Keempat, menurut Belanjawan 2019, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM53 juta bagi pembinaan jalan dan jambatan di seluruh Negeri Johor. Di antara senarai 7 buah keutamaan projek yang akan dilaksanakan, saya mendapati tidak ada projek pembinaan jalan raya daripada Jalan Sawah ke Ulu Choh untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Pekan Nanas. Sebab itu, saya memohon pencerahan dari YB EXCO tentang perkembangan projek pembinaan jalan tersebut sama ada projek tersebut mendapat peruntukan pada tahun 2019, jika tidak saya memohon jasa baik YB EXCO untuk mengambil kira projek tersebut dan menambahkan peruntukan yang cukup supaya projek tersebut mendapat peruntukan yang cukup untuk dimulakan pada tahun 2019.

Selain itu, Pekan Nanas juga memohon jasa baik kerajaan negeri Johor untuk memberi keutamaan terhadap projek pembinaan jalan pintas Pontian ke Johor Bahru. Apabila ada sebarang perundingan dengan kerajaan persekutuan supaya peruntukan kerajaan persekutuan dapat memfokuskan kepada pelaksanaan projek pembinaan jalan pintas Pontian – Johor Bahru. Saya percayai pembinaan jalan ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pekan Nanas, ia juga akan membawa pertumbuhan yang signifikan kepada pembangunan daerah Pontian.

Kelima, inisiatif YB EXCO Kerja Raya untuk mewujudkan pasukan petugas Task Force Pengangkutan Perairan bagi mengenal pastikan sumber ekonomi baru bagi negeri Johor merupakan suatu tindakan yang bervisi tinggi. Sepanjang masa ini, kerajaan hanya memberi keutamaan mencari sumber melalui darat malah kerajaan sebenarnya berpotensi mendapat hasil daripada aktiviti maritim yang semakin pesat di perairan negeri Johor jika dipantau dengan baik. Sebagai contoh, aktviti shift to shift transfer yang aktif di perairan Johor boleh mendatangkan sumber yang lumayan kepada kerajaan. Kerajaan persekutuan kini sedang mengkaji dasar baru untuk mengawal sedia dan mewujudkan pendapatan kepada kerajaan melalui aktiviti STS.

Pekan Nanas berpandangan bahawa kerajaan negeri juga berhak untuk mendapat sebahagian sumber hasil aktiviti STS daripada kerajaan persekutuan memandangkan aktiviti STS di Malaysia adalah tertumpu di kawasan perairan 3 batu nautika di perairan negeri Johor seperti pelaksanaan dasar kutipan VEP di Johor Bahru. Kerajaan negeri diberi RM5.00 daripada jumlah RM20.00 setiap pendaftaran kenderaan negara asing. Prinsip yang sama perlu diamalkan supaya kerajaan negeri juga mempunyai tanah yang cukup untuk menghadapi cabaran dan risiko aktiviti STS yang mungkin mendatangkan risiko kepada penduduk tempatan sekiranya berlaku apa-apa kemalangan ataupun tumpahan minyak semasa aktiviti berikut. Memandangkan aktiviti maritim yang semakin pesat di perairan negeri Johor, kerajaan Johor juga perlu membuat persediaan untuk meningkatkan emergency first response di negeri Johor untuk menghadapi sebarang cabaran yang akan datang.

Keenam, Pekan Nanas juga menyambut baik dengan hasrat kerajaan memperkukuhkan integriti dan meningkatkan prestasi perkhidmatan awam. Seperti yang pernah dinyatakan ADUN Mengkibol dalam ucapan sebenar. Pekan Nanas juga ingin menimbulkan beberapa masalah yang dihadapi dalam pengurusan peruntukan projek dan pekan kecil Wakil Rakyat akibat kerajaan baru masih mewarisi dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional lama. Pembekal dan kontraktor yang menyediakan bekalan

dan projek kecil didapati memberi perkhidmatan dengan harga yang lebih tinggi iaitu lebih kurang 30% lebih tinggi daripada harga pasaran. Sebagai contoh, apabila kami memberi peruntukan RM5,000.00, sesetengah kontraktor dan supplier hanya dapat menyediakan bekalan ataupun projek kecil dengan nilai RM3,500.00.

Keadaan ini sebenarnya merupakan suatu amalan lama dan rahsia terbuka sejak pemerintahan kerajaan Barisan Nasional. Apabila keadaan ini berterusan dan dipertikaikan orang awam, Pekan Nanas rasa susah untuk menjustifykan keadaan ini, alasan profit kepada pembekal dan kontraktor adalah tidak cukup kuat memandangkan kalau pembekal dan kontraktor memberi perkhidmatan mengikut pasaran, mereka masih dipercayai boleh mendapat keuntungan, lagi pun keuntungan 30% daripada harga pasaran adalah dianggap terlalu tinggi oleh orang awam dan perlu dikaji semula. Jika, keadaan ini dibiarkan berterusan ia akan menyebabkan kredibiliti Wakil Rakyat yang memberi peruntukan diragui orang awam dan membawa impak negatif kepada imej kerajaan Pakatan Harapan.

Pekan Nanas berpandangan kerajaan baru tidak harus mewarisi dasar yang berpotensi menyebabkan ketirisan. Oleh itu, saya bercadang bahawa peruntukan tersebut boleh disalurkan secara terus kepada akaun bank rasmi pihak penerima. Saya juga berharap Jawatankuasa Penyata Kira-Kira boleh bekerjasama dan meluangkan masa berbincang dengan pihak Kewangan Negeri untuk menggubal dasar baru untuk membendung sebarang ketirisan yang mungkin berlaku.

Timbalan Speaker

YB Pekan Nanas.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Ya.

Timbalan Speaker

Sila gulung tinggal 2 minit.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Puan Speaker, kadang kala orang meluahkan perasaan mereka kerana mereka masih percaya kepada kerajaan baru dan berharap kita tidak mengulangi cara pengurusan kerajaan Barisan Nasional. Pekan Nanas juga menyedari jika rakyat tidak berhasrat untuk bersuara di depan kita, mereka akan berbisik antara satu sama lain tanpa pengetahuan kita dan menjadi silent killers pada masa akan datang. Ini adalah tanda-tanda bahaya di mana orang awam mula hilang kepercayaan kepada kita.

Pekan Nanas sayang kepada kerajaan Pakatan Harapan supaya kita tidak menghadapi risiko dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Saya berharap isu yang dibangkitkan ini tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak tetapi dapat meningkatkan prestasi kerajaan baru dengan memastikan setiap satu sen kerajaan yang dikeluarkan boleh menjana kesan yang paling baik.

Yang Berhormat Puan Speaker, pada 1 November, Pejabat Tanah dan Galian Johor mengeluarkan notis mengehadkan jumlah nombor penyerahan kaunter bagi wakil firma guaman di kaunter penyerahan pada hari Ahad sampai Rabu. Jumlah nombor penyerahan yang dibenarkan adalah 162 manakala pada hari Khamis adalah 114. Jika nombor penyerahan sudah habis wakil firma guaman terpaksa balik dengan tangan kosong. Ini menyebabkan wakil-wakil firma lawyer daripada seluruh Johor terpaksa datang awal untuk memastikan mereka berpeluang mendapat nombor penyerahan yang terhad.

Pekan Nanas mendapat aduan dan pernah membuat lawatan pada pagi 3 pagi, pukul 3 pagi minggu lepas. Walaupun, pada waktu pagi pukul 3 saya sudah mendapati ada banyak wakil firma lawyer telah berada di Masjid Kota Iskandar dan membuat persediaan susunan nombor penyerahan secara teratur untuk melancarkan proses penyerahan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri. Pekan Nanas berpandangan...

Timbalan Speaker

Pekan Nanas, panjang lagi?

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Sikit, ini topik yang last, sebab itu pendek sahaja. Pekan Nenas berpandangan bahawa agensi kerajaan perlu memikul tanggungjawab memberi kemudahan kepada orang awam dalam segala urusan yang berkaitan dengan kerajaan. Oleh itu,dasar mengehadkan nombor penyerahan setiap hari perlu dikaji. Saya mengambil cara urus tadbir pihak bank yang mungkin boleh dicontohi di mana semua orang yang sempat memasuki bank semasa sebelum masa tamat perkhidmatan mereka tidak akan balik dengan tangan kosong. Bayangkanlah kalau wakil firma lawyer yang dating daripada Tangkak,Mersing begitu jauh terpaksa balik dengan

tangan kosong. Ia akan merupakan suatu pembaziran masa, tenaga dan sumber. Lagi pun setiap penyerahan yang terlibat juga merupakan suatu sumber pendapatan kepada kerajaan negeri. Oleh itu, saya bercadang Pejabat Tanah dan Galian Johor boleh mencontohi cara urusan pihak bank yang menyelesaikan semua kes penyerahan yang tampil ke pejabat mereka walaupun terpaksa overtime. Jika menghadapi masalah kekurangan sumber tenaga.

Timbalan Speaker

Pekan Nanas masa sudah tamat.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Kerajaan perlu membuat pertimbangan menambahkan kakitangan di pejabat tersebut dan sekali lagi saya mengakhiri ucapan saya dengan ribuan ucapan terima kasih. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Larkin, jemput.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Bismillahirahmannirrahim. (Bacaan selawat). Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Mesyuarat Negeri Johor,Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua dan wakil-wakil jabatan kerajaan negeri, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT sekalian. Assalammualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh dan salam sejahtera.

Larkin pun tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan Ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim pada 22 November 2018 yang lalu. Patik ingin merakamkan ucapan merafak sembah setinggi-tinggi kasih dan tahniah kepada Duli Yang Mulia Tuanku sempena Program Kembara Mahkota Johor yang berlangsung dengan jayanya baru-baru ini. Semoga Allah melanjutkan usia Duli Yang Mulia Tuanku dan Negeri Johor kekal aman, makmur, maju dan rakyatnya hidup bermuafakat di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor yang telah dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor pada 22 November 2018, Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Tahniah juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang telah menyempurnakan pembentangan Belanjawan Johor 2019 dengan segala pengisian yang menyeluruh demi kepentingan rakyat Negeri Johor.

Larkin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di dalam Dewan yang mulia ini dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker kerana telah memberi ruang dan peluang untuk Larkin mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan Johor 2019 kali ini. Biarlah Larkin mulakan dengan dua rangkap pantun.

Rakyat Johor bangsa perkasa, budaya bangsa ibunda penaja, kerajaan yang lalu banyak berjasa, kerajaan yang baru mulakan kerja.

Ranggup manis si buah bidara, segak terletak di atas dahan, salam sejahtera pembuka bicara, Belanjawan Johor 2019 kita bahaskan.

Yang Berhormat Puan Speaker, Belanjawan yang dibentangkan Pakatan Harapan Johor berpaksikan kepada 3 teras utama iaitu :

1. Meringankan beban kos sara hidup rakyat 2. Mereformasikan institusi pentadbiran dan politik 3. Merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama

Belanjawan ini juga disokong dengan 8 teras yang tersusun dengan 6 teras strategik. Bersandarkan anggaran dengan izin, projected income tahun 2019 ialah sebanyak RM1,552.78 juta. Anggaran perbelanjaan pula disasarkan berjumlah RM1.549.34 juta dan menjadikan kelebihan RM3.43 juta. Ini akan menjadikan lebih kukuh dengan pelupusan hutang lapuk kerajaan negeri oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM189 juta. Tahniah di atas usaha Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan barisan kepimpinan negeri yang berjaya mendapatkan pelepasan berkenaan.

Yang Berhormat Puan Speaker, di sini Larkin ingin menyentuhkan isu-isu berkaitan kualiti hidup rakyat yang menjadi keutamaan dalam belanjawan ini. Dalam mereformasikan sektor perumahan, peruntukan sebanyak RM87 juta bagi mengambil alih tanah-tanah untuk maksud pembinaan Rumah Mampu Biaya, ini tidak diperjelaskan sama ada ia untuk jumlah 12,320 unit dalam tahun 2019 sehingga 2020 atau keseluruhannya hingga tahun 2023 menjadikan jumlahnya 23,643 unit.

Jika kos tanah yang berjumlah RM87 juta hanya untuk 12,320 unit, ianya agak tinggi dan kerajaan harus mencari alternatif lain demi mengurangkan kos pengambilan yang tinggi. Jika kos ini merangkumi semua 23,643 unit rumah ianya menjadikan harga kos tanah untuk seunit rumah ialah sebanyak RM3,679.00 Adalah agak berpatutan tanpa mengira harga bangunan. Projek ini adalah wajar disegerakan tanpa sebarang kelewatan atau kegagalan, yang mana boleh mengakibatkan tambahan kos yang lebih tinggi ditanggung oleh kerajaan. Pemantauan yang rapi harus dilaksanakan oleh jawatankuasa yang dilantik, supaya perkara yang berlaku sebelum ini tidak diulangi oleh kerajaan Pakatan Harapan sekarang.

Bagi pembangunan Rumah Mampu Biaya oleh pemaju swasta, 40% komponen perumahan yang dikenakan oleh pihak pemaju ini agak menggalakkan dan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah. Ini adalah amat jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan mengambil inisiatif untuk menyekat keuntungan yang diperolehi oleh syarikat pemaju swasta tanpa menghiraukan kutipan hasil kerajaan yang berkurangan demi kepentingan rakyat negeri Johor. Selain dari itu, jumlah unit Rumah Mampu Biaya ini juga dapat merealisasikan rancangan pembinaan setinggan kepada penempatan Rumah Mampu Biaya. Melalui rancangan pembinaan setinggan ini pihak kerajaan dapat mengambil semula tanah-tanah tersebut bagi menambah nilai aset kerajaan untuk program pembangunan yang lain. Masalah setinggan terutamanya di kawasan DUN Larkin harus ditangani segera memandangkan majoriti rumah yang dibina tidak menepati ciri-ciri keselamatan, kerana ianya dibina di kawasan lereng bukit, di tepi sungai dan di kawasan yang rendah. Jika berlaku bencana alam, penduduk-penduduk setinggan ini kerap menjadi mangsa, misalnya apabila berlaku bencana banjir, pihak kerajaan akan mengalami kerugian kerana terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar bagi memindahkan mereka atau membantu mereka membaik pulih kerosakan kediaman dan kerosakan harta benda. Kerajaan harus telus tanpa sebarang ketirisan dalam usaha pemberian Rumah Mampu Biaya kepada mereka yang benar-benar layak menerimanya. Larkin berharap kawasan setinggan ini dapat diberi keutamaan untuk memiliki Rumah Mampu Biaya dengan seberapa segera kerana perkara ini telah dijanjikan oleh kerajaan terdahulu sebelum beberapa PRU yang sudah tetapi yang mana janji hanya tinggal pada janji sahaja.

Yang Berhormat Puan Speaker, Larkin mengalu-alukan bantuan kerajaan pusat bagi membina sebuah hospital di Kempas dan menaik taraf hospital kerajaan di Johor Bahru. Muar dan Kluang, Pontian dan Kota Tinggi. Bagi daerah Segamat akan didirikan sebuah hospital pakar oleh KPJ yang menelan belanja sebanyak RM70 juta. Ini tidak memberi sebarang kelebihan kepada penduduk di kawasan berkenaan yang ramai terdiri daripada petani, peladang dan peniaga-peniaga kecil. Menaik taraf hospital kerajaan yang sedia ada adalah lebih baik dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan. Maka lebih memerlukan hospital, mereka lebih memerlukan hospital kerajaan daripada hospital swasta yang agak mahal. Pelaburan dari anak syarikat kerajaan iaitu JCorp sebanyak RM70 juta haruslah diutamakan kepada pelaburan dalam sektor pembuatan dan seterusnya membuka peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan kepada warga tempatan yang tiada sumber pencarian yang tetap. Inilah yang seharusnya diusahakan oleh semua anak-anak syarikat kerajaan untuk membantu rakyat bukan hanya untuk meniaga yang mendapat keuntungan semata-mata. Ini selaras dengan hasrat kerajaan yang beri tumpuan pembangunan di wilayah utara negeri Johor termasuklah daerah Segamat dan Tangkak. Projek yang memberi impak yang tinggi kepada ekonomi harus diperkukuhkan di kawasan Johor Utara dan penduduk tempatan harus diberi kesedaran untuk berkecimpung kepada sektor yang lain bukan ianya semata-mata bergantung kepada pertanian dan perladangan.

Yang Berhormat Puan Speaker, Larkin juga ingin bicarakan isu memperkasakan Pusat Pelaburan Negeri Johor ke Invest Johor. Pusat Pelaburan yang ditubuhkan sejak tahun 2004 tidak begitu memuaskan. Terdapat agensi pelaburan kerajaan negeri yang lebih mengutamakan dalam bidang pelaburan hartanah. Sektor hartanah ini merupakan komposisi yang terbesar dalam pelaburan negeri Johor. Pelaburan dalam hartanah semata-mata akan memberi kesan yang tidak sihat kepada pasaran tempatan. Spekulasi pasaran harga hartanah akan lebih aktif mengakibatkan ketidakstabilan harga hartanah tempatan dan peningkatan lambakan hartanah. Ini akan memberi kesan yang buruk

kepada kadar penukaran wang asing apabila pasaran di kuasai oleh bukan rakyat tempatan. Akibat daripada spekulasi harga pasaran, hartanah-hartanah ini akan hanya mampu dimiliki oleh warga asing yang mengambil kesempatan dari nilai pertukaran mata wang Ringgit Malaysia yang lemah ketika ini. Pelaburan domestik dari luar harus diberi keutamaan kepada sektor pembuatan. Ini akan menjadikan negeri Johor mempunyai kuasa pengeluaran yang tinggi jika dibandingkan dengan kuasa pembelian. Selain dari itu juga akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dengan lebih berkesan.

Yang Berhormat Puan Speaker, Larkin ingin juga menyentuh tentang Pelan Inisiatif Ekonomi Kreatif (IEK) dalam erti kata bantuan yang di salur kepada usahawan. Banyak aspek yang seharusnya dipertingkatkan. Larkin berpendapat bantuan geran semata-mata tidak akan mencapai objektif jika perlaksanaannya tidak diperhalusi. Di peringkat perniagaan, selain dari minat dan rajin, komitmen mereka dan kecenderungan mereka juga harus dikenal pasti. Jika bimbingan tidak dirancangkan, mereka akan bersikap sambil lewa dan kurang berdaya saing dan apabila tertekan dengan impak pasaran dan pesaing yang sedia ada. Setiap jenis perniagaan hanya mampu berkisar dengan lebih berdaya saing jika dibantu daripada setiap penjuru. Penjuru yang Larkin maksudkan seperti sayap-sayap kerajaan yang harus bergerak seiring untuk memberi ruang kepada peniaga-peniaga baru. Kerajaan harus lebih kreatif untuk membantu mereka bukan sekadar menyediakan kemudahan atau ruang perniagaan. Justeru itu, bimbingan yang lebih terancang diperlukan agar mereka benar-benar faham dan berada di atas landasan yang yang betul, Mereka harus diberi ilmu untuk menghasil produk yang bermutu tinggi dan berkualiti. Mereka juga harus dibantu dalam pemasaran, di sinilah sayap-sayap kerajaan seperti GLC harus memberi sebesar-besar wang kepada mereka. Larkin juga mohon agar bantuan yang disalurkan kepada usahawan kecil biarlah berpatutan dan seimbang dengan modal yang diperlukan, jika jumlahnya terlalu kecil mereka hanya mampu menjadi peniaga di tepi jalan dan tidak mampu untuk berdaya saing dan tidak juga memberi kesan economic spinning, dengan izin. Satu pelan rangka kerja yang berkomprehensif harus dibuat mengikut kemampuan dan persediaan mereka sejauh mana untuk menjadikan mereka benar-benar usahawan yang berjaya.

Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya Larkin ingin menyuarakan isu yang terlibat dengan kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak di negeri ini. Masalah seperti ini berkait dengan masalah sosial. Tinjauan yang dibuat oleh Larkin apabila turun ke padang, Larkin dapati peruntukan dasar Jabatan Kebajikan Masyarakat amatlah tidak memadai. Mujurlah adalah bantuan daripada NGO, orang-orang awam dan badan-badan sukarelawan yang prihatin. Tetapi kemampuan sebegini adalah terhad dan hanya menampung bagi jangka masa yang singkat. Memandangkan sumber-sumber kemudahan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat juga adalah terhad, Larkin merayu agar peruntukan tambahan dapat dipertimbangkan bukan hanya sekadar peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf rumah perlindungan. Rumah perlindungan harus ditambah mengikut statistik yang ada. Dengan ini proses untuk menyelamatkan anak-anak ini dapat disegerakan. Ini adalah peranan kita yang penting demi rakyat khasnya bangsa Johor. Kerajaan pada masa ini harus peka dan menitik beratkan perkara-perkara seperti ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, di sini Larkin ingin menyentuh teras keenam dalam Belanjawan Johor 2019 iaitu memastikan urus tadbir cekap berintegriti dan demokratik. Dalam isu berkenaan, kerajaan Pakatan Harapan komited bagi memastikan perlaksanaan urus tadbir yang cekap dan berintegriti. Ini juga dilaungkan oleh kerajaan sebelum ini. Kerajaan Pakatan Harapan hari ini wajib melaksanakan kelainan jika tidak segala perancangan dan strategi kerajaan hanya tinggal perancangan yang indah sahaja. Peruntukan berjuta-juta ringgit diperuntukkan, jika ianya tidak dilaksanakan dengan penuh beretika ianya akan mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan dan rakyat khususnya. Dalam pengurusan hasil kewangan yang lebih berkesan, peningkatan kutipan hasil negeri adalah antara usaha-usaha bagi penambahan hasil negeri. Hasil-hasil kutipan kerajaan haruslah dimaksimakan tanpa sebarang kompromi, terutama hasil kutipan yang dianggarkan sebanyak RM25 juta. Anak-anak syarikat kerajaan dalam kerjasama dengan pemaju harus berkemampuan untuk mendapatkan kuantum dan ekuiti yang lebih dalam setiap rundingan dengan sektor-sektor swasta. GLC harus peka dan berhati-hati agar tiada sebarang risiko yang akan dibebankan kepada kerajaan dalam masa yang akan datang. Segala tanah-tanah kerajaan hendaklah dimajukan melalui platform GLC. Nilai tanah yang sebenarnya harus dipertahankan. Kita sedari berbagai projek sebelum ini yang mana tanah kerajaan dinilai tidak mengikut harga pasaran yang sebenarnya dan premium dengan jumlah yang besar dikurangkan dan ini memberi impak kepada hasil sebenarnya kerajaan negeri. Kerajaan Pakatan Harapan lebih bersikap terbuka, telus dan jujur dalam setiap rundingan tanpa sebarang mana-mana pihak.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam perancangan kerajaan untuk meminda bayaran atas permohonan pindah milik, gadaian dan pajakan akan memberi tambahan sebanyak RM2 juta. Ini

adalah langkah yang baik. Pindaan terakhir pada tahun 2005 agak begitu lama dan sudah sampai masanya untuk dipinda. Berbagai cara untuk menambahkan hasil pendapatan kerajaan dan jangan sesekali kita musnahkannya. Selain daripada itu, semua agensi-agensi kerajaan juga harus bergerak seiring dengan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan hasil kerajaan. GLC-GLC dan agensi kerajaan haruslah lebih cermat dan berhati-hati agar segala tender-tender, tawaran kerja mengikut kadar yang sebenarnya. Pengagihan kerja-kerja juga harus diberi perhatian sewajarnya agar semua dapat merasa dan menikmati secara sama rata. Ini amat penting untuk pembangunan ekonomi menjadi lebih seimbang dan kadar kemiskinan dapat diturunkan. Yang Berhormat Puan Speaker, akhir kata Larkin mengharapkan satu pencapaian dan prestasi yang baik untuk kerajaan negeri. Belanjawan yang dibentangkan biarlah dijadikan satu belanjawan yang benar-benar berkesan kepada rakyat negeri Johor. Segala masalah seperti ekonomi, sosial dan lain-lain dapat diatasi dan mempamerkan sebuah kerajaan yang benar-benar komited. Usahlah belanjawan ini dipersendakan, harap pembangkang lebih terbuka dan berlapang dada untuk bersama-sama kerajaan Pakatan Harapan untuk merealisasikan rancangan dan strategi ini menjadi satu kenyataan demi rakyat negeri Johor. Bagilah kami peluang untuk membetulkan, mempertingkatkan segala rancangan yang kami telah rancang kan. Kerajaan yang terdahulu telah diberi mandat dan peluang yang agak lama dan adalah wajar menerima pembaharuan yang dikehendaki rakyat. Dengan ini Belanjawan Negeri Johor 2019, Larkin sokong. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Tiram, jemput.

Yang Berhormat Puan Speaker, bersempena dengan sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang ke-60 pada 22 November lalu. Patik merafak sembah, menjunjung tinggi setinggi-tinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada dalam keadaan sihat sejahtera, dilanjutkan usia untuk terus memerintah di atas takhta kerajaan bagi menaungi sekalian rakyat dengan adil dan saksama. Mudah-mudahan dengan berkat kepimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, negeri Johor akan terus maju, moden, progresif dengan rakyat bangsa Johor yang bersatu padu, Daulat Tuanku.

Juga Tiram ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Haji Osman bin Sapian atas penganugerahan Darjah Kebesaran, Darjah Mahkota Johor Yang Mulia Pangkat Pertama, Dato’ Seri Mahkota Johor sempena hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan baru-baru ini. Serta tahniah atas pembentangan Belanjawan 2019 yang begitu inklusif selaras dengan tema Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari.

Tiram amat berbangga dengan Belanjawan Johor 2019 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan yang begitu padat dan manfaat hampir keseluruhan melalui enam teras. Dengan itu, dalam pembentangan belanjawan, Yang Amat Berhormat tidak juga mengetepikan kaum India iaitu memperuntukkan RM3 juta untuk pembangunan ataupun memajukan orang-orang India. Saya amat terharu dan juga berterima kasih kepada Kahang dan Tenggaroh yang mengutarakan perkara mengenai peruntukan-peruntukan inklusif berjuta-juta ringgit daripada kerajaan Barisan Nasional pada pemerintahan mereka dan kononnya mereka mengatakan RM3 juta itu tidak mencukupi langsung.

Saranannya juga, kaum India kali ini percaya kepada parti Pakatan Harapan dan mengetepikan mereka dan memilih Pakatan Harapan. Tetapi apa yang soalannya dan peliknya, walaupun Barisan Nasional ada bagi banyak peruntukan berjuta-juta dan juga banyak kemudahan kepada kaum India, bagaimanakah kaum India ini mengetepikan MIC dan Barisan Nasional? Saya rasa peruntukan-peruntukan itu, agak itu digit sahaja ke? Ataupun ada sampai kepada golongan akar umbi ke? Ataupun golongan yang sasarannya? Ataupun pada pertengahan itu, hanya dia terbang sahaja?

Dan Puan Speaker, Pakatan Harapan mempunyai satu konsep iaitu kami menyelesaikan masalah bukan mengikut kaum lagi, ini adalah budaya Barisan Nasional. Kita mengikuti, menyelesaikan masalah mengikut kategori dan juga isu-isu yang tertentu. Oleh kerana itu, kita tidak bukan lagi tengok bagaimanakah kita nak menyelesaikan masalah kaum ini ialah masalah kategori kemiskinan, pendidikan, perumahan segala-galanya mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, dalam masa-masa pemerintahan 60 tahun yang lepas, kaum India telah dipinggirkan. Kita telah mundur, kaum India telah mundur dari segi pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Remaja kita di sini sekarang, kita tak ada mempunyai mana nak pergi? Tidak tumpuan, sebab tidak mencukupi dan juga

guidance, dengan izinnya, untuk mendapatkan, memaju ke hadapan. Mereka terjebak dengan gejala-gejala sosial. Oleh kerana itu, kita masih lagi memerlukan bantuan daripada kerajaan. Di samping itu, saya ini terlalu minat kerana Tenggaroh dan juga Kahang ada beritahu mengenai RM8 juta yang kerajaan Barisan Nasional yang memberi kepada kaum India. Dana itu pergi mana? Saya pun tak tau, saya terlalu minat, saya memohon kepada kerajaan, sekiranya dana itu di mana itu, tolong tangkap dana itu dan masukkan balik kepada dan salurkan balik kepada kaum India. Saya ini memohon untuk kepada kerajaan dan juga RM3 juta itu memang tidak cukup juga sebab apa yang saya nampak untuk perbelanjaan perniagaan hanya RM500 ribu sahaja. Mungkin dana itu untuk satu, dua peniaga yang baru nak bermula sahaja. Oleh kerana itu, saya memohon kepada kerajaan sekurang-kurangnya RM5 juta untuk kaum India.

Saudara dan saudari sekalian, Puan Speaker, di sini ada satu berita mengenai warisan budaya yang tersembunyi di Kota Tinggi iaitu Kota Gelangi. Saya kena bercerita mengenai Kota Gelangi, mungkin ramai Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri di sini mungkin tak kenal apa itu Kota Gelangi. Kota Gelangi adalah satu tempat yang tersembunyi warisan, sejarah di Kota Tinggi. Dalam 10 tahun ini ada desas desus mengenai Kota Gelangi tetapi saya rasa kerajaan Pakatan Harapan perlu mengambil inisiatif untuk terokai tempat itu. Sebab, apa yang difahamkan Kota Gelangi mempunyai suatu warisan sejarah pembinaan, dari sejarah iaitu Empayar Sri Wijaya. Ada satu pembinaan kuil yang terlalu besar di kawasan Kota Gelangi itu di Kota Tinggi. Sebab apa saya menyarankan tempat itu? Sekarang di Cambodia, mempunyai satu pelancongan yang terbesar. Cambodia terkenal sebab Angkor Wat, semua orang kenal Angkor Wat. Mempunyai banyak perbelanjaan ataupun pendapatan daripada pelancongan di Cambodia kerana Angkor Wat berjuta-juta pelancong daripada seluruh dunia pergi ke tempat itu untuk melancong dan juga mereka mendapat pendapatan yang terlalu tinggi.

Oleh kerana itu, sekiranya, apa yang difahamkan, saya pun ada pergi tempat itu, kemungkinan besar tempat itu Empayar Sri Wijaya pembinaan Kuil Angkor Wat, kemungkinan dua saiz besar daripada Angkor Wat di Cambodia, terlalu besar ada dalam. Kalau kerajaan Pakatan Harapan menerokai tempat itu, kemungkinan kita akan ada satu pelancongan, nombor dua kita akan termasyhur di seluruh dunia. Ramai pelancong akan kembali ke Kota Gelangi.

Puan Speaker, kawasan Tiram, sejak kebelakangan ini kepadatan penduduk di Taman Bestari Perdana iaitu di bawah DUN Tiram sedang bertambah. Sedang bertambah dari masa ke masa. Pada masa yang sama, mereka tidak mempunyai kemudahan awam asas iaitu lampu jalan raya tiada bagi memenuhi keperluan harian mereka terutamanya pada waktu malam. Sedangkan banyak kos kemalangan berlaku di kawasan tersebut pada waktu malam. Pada masa yang sama didapati 50% daripada penduduk tidak memiliki kenderaan persendirian. Justeru, kemudahan pengangkutan Bas Muafakat amat penting bagi keperluan harian mereka. Tambahan pula, ia merupakan strategi yang cukup berkesan bagi Perbandaran Ulu Tiram. Oleh yang demikian, bagi kebaikan penduduk ini, kerajaan negeri harus mewujudkan kemudahan lampu jalan raya dan Bas Muafakat.

Puan Speaker, kita maklum bahawa terdapat projek pembinaan untuk tapak tanah bagi upacara jenazah masyarakat Hindu di Tanjung Langsat sejak kebelakangan ini. Perkara ini dan berita ini sudah lama kita bincangkan. Sampai sekarang, tidak mempunyai satu kata muktamad dan juga keputusan, benda itu akan dijalankan ataupun tidak? Ini adalah soal dan juga rungutan daripada kaum India sebab Tanjung Langsat itu adalah kawasan saya sendiri. Saya sudah mencuba daripada Pejabat Tanah sampai ke sini, Majlis Mesyuarat Kerajaan. Saya memohon ataupun Tiram memohon untuk mempercepatkan proses tersebut. Dan di Ulu Tiram sendiri tidak mempunyai suatu tapak tanah untuk kubur, kubur India pun tidak mempunyai di Bandar Ulu Tiram. Mereka terpaksa bawa ke jauh ke Masai, Pasir Gudang kadang-kadang pergi Johor Bahru. Oleh kerana itu, di Tiram sendiri mempunyai 12% pengundi kaum India tetapi sampai kini tidak mempunyai satu kubur untuk kaum India.

Puan Speaker, banjir. Di Sungai Tiram Batu 20 sering berlaku banjir. Pada 2014 sampai 2017, banjir yang berlaku dalam satu tahun sekali ataupun dua kali sahaja. Selepas 2017 satu tahun lebih kurang enam kali, tujuh kali, kadang-kadang sembilan kali pun ada. Ini terlalu sering berlaku banjir di Batu 20 Sungai Tiram. Apa yang difahamkan, ada satu sungai di sana, sungai itu ada dibuat benteng, benteng ataupun hadang, dibuat oleh pengusaha pasir. Mereka apabila buat hadang ataupun benteng tersebut, apabila airnya ditendang balik kepada, apabila hujan lebat, air itu tendang balik, mereka akan pergi ke rumah. Pada banjir yang lepas ini, terlalu banyak rumah kena banjir, dia naik, saya sendiri pergi melawat. Oleh kerana itu, apa yang kita dapat tahu dalam tiga tahun yang lepas ini ada satu pengusaha yang mempunyai kebenaran daripada orang besar, saya tak tahu siapa itu orang

besar itu, sampai sekarang belum tahu lagi tetapi dia mengusahakan pasir di sana, masih belum keluar dari tempat itu. Jadi saya memohon kerajaan untuk menyiasat benda itu.

Puan Speaker, di Tiram, akhlak untuk remaja, mereka tidak mempunyai suatu tempat iaitu pusat rekreasi. Sekiranya mereka memerlukan futsal, apa-apa sukan mereka terpaksa cari tempat yang private, dengan izinnya, dengan swasta, terpaksa bayar kos yang begitu tinggi. Oleh kerana itu, Tiram memohon untuk membina satu pusat rekreasi di Tiram mengenal pasti semuanya pusat rekreasi, futsal, bola keranjang, volleyball segala-galanya mesti ada dalam pusat itu untuk kegunaan remaja sekarang yang melepak, dia tak tahu nak pergi mana-mana, apa bila sekolah atau selepas bekerja, mereka tak tahu pergi ke mana. Jadi, saya memohon kerajaan membina satu pusat rekreasi di tempat tersebut. Dengan itu, saya dapat Belanjawan 2019 akan memenuhi hasrat rakyat terutamanya di DUN Tiram untuk membina satu masyarakat yang berdisiplin. Belanjawan ini akan memberi satu manfaat kepada keseluruhan. Terima kasih Puan Speaker.

Timbalan Speaker

Seterusnya Yang Berhormat Panti, jemput.

Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada semua yang memberikan peluang kepada saya, Panti untuk memberi ataupun membahaskan belanjawan kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini.

Pertama sekali, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan izinNya saya berjaya ataupun saya berpeluang membahaskan belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada 29 November yang lalu. Pada kesempatan ini juga, patik dan seluruh rakyat DUN Panti ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Dan Yang Dipertua Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim atas sambutan Ulang tahun Hari Keputeraan Yang Ke 60 pada 22 November yang lalu. Dan, patik berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dalam keadaan sihat, dilanjutkan usia untuk memerintah negeri ini. Patik juga ingin merafak sembah setinggi-tinggi kasih dan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas kesinambungan Program Kembara Mahkota Johor saban tahun yang menjadi platform kepada rakyat mendekati institusi Raja dan kebajikan rakyat dijaga.

Yang Berhormat Puan Speaker, merujuk kepada kenyataan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam pembentangan belanjawan tempoh hari Johor merupakan negeri pertama yang berjaya menunaikan janji 10 Manifesto 100 hari. Dan, Yang Berhormat EXCO Kerajaan Tempatan juga dalam sesi soal jawab pagi tadi dengan bangganya menyatakan Johor adalah satu-satunya kerajaan Pakatan Harapan yang menunaikan Manifesto Pilihan raya mereka. Maknanya, mereka juga meyakini dan mengakui bahawa kerajaan Pakatan Harapan negeri-negeri lain dan juga kerajaan Pakatan Harapan pusat tidak menunaikan janji manifesto pilihan raya mereka. (Dewan bertepuk). Dan, mereka menang dengan janji kosong sahaja. Walau bagaimanapun, usahlah kerajaan negeri Pakatan Harapan pada hari ini terlalu meyakini bahawa 10 Manifesto mereka terlaksana dalam tempoh 100 hari ataupun terlaksana dengan baik.

Kerajaan negeri seharusnya melakukan kajian terperinci dan melakukan penambahbaikan ataupun melihat ke bawah hasil kepincangan pelaksanaan manifesto tersebut. Misalnya, Skim Takaful Warga Emas yang sebenarnya bersikap pilih kasih kepada penyokong Pakatan Harapan sahaja bahkan kursus pra perkahwinan yang dikatakan percuma rakyat perlu membayar terlebih dahulu kemudian diminta untuk menuntut semula dalam tempoh yang ditetapkan dan kita pun tidak tahu berapa lama proses itu akan berlaku. Saya juga ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana berjaya membentangkan, menunaikan belum tahu lagi Belanjawan Johor 2019, yang bertemakan ‘Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari. Ia dilihat seperti yang rakan-rakan saya sebut sebelum ini satu belanjawan copy paste dan rebranding dengan izin, daripada belanjawan yang pernah dibentangkan oleh Barisan Nasional pada tahun 2018 ataupun segala pelan ataupun inisiatif yang telah kerajaan Barisan Nasional umumkan sebelum ini. Saya bersetuju dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan EXCO yang selalu bercakap ataupun selalu melaungkan apa yang baik akan kita teruskan tetapi kalau dah 85%, hampir 85% perkara-perkara yang pernah Barisan Nasional lakukan, dilakukan ataupun dibuat semula maknanya kerajaan Barisan Nasional yang lepas adalah satu kerajaan yang baik dan telah mentadbir dengan sempurna. Dan, kita sebenarnya kita mahukan apa yang kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini melakukan ataupun memulakan inisiatif-inisiatif yang lebih baik daripada sebelum ini. Walau bagaimanapun, kita dari pihak pembangkang Barisan Nasional pada hari ini kita sedia membantu untuk sentiasa memberi

kritikan, sentiasa memberi pandangan dan bergantung kepada pihak kerajaan Pakatan Harapan untuk menerima dan menilai cadangan-cadangan yang telah ataupun yang akan kami utarakan.

Namun, dalam bajet yang dibentangkan ini banyak golongan tertinggal peneroka, nelayan, orang kampung, orang FELDA, mungkin Yang Amat Berhormat Menteri Besar ataupun kerajaan boleh mengikut jejak langkah kerajaan pusat yang telah mengemukakan Bajet mereka baru-baru ini, yang telah dengan senang, ataupun dengan mudah mengubah orang putih kata flip flop dasar apa ataupun apa yang telah diumumkan oleh mereka sendiri. Kalau di peringkat pusat mereka mengumumkan bahawa gaji minimum untuk potongan PTPN berjumlah RM1,000.00 tetapi baru-baru ini mereka telah mengubah sendiri berjumlah RM2,000,00. Dan yang telah diumumkan adalah kereta yang mendapat subsidi minyak 1.5 ke atas dan sebagainya. Tetapi ia telah diubah kepada perkara-perkara yang lebih setelah dikritik oleh kami pihak pembangkang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Panti antara yang menjadi perhatian, yang ingin Panti utarakan dalam perbahasan pada hari ini adalah yang berkaitan dengan daerah Kota Tinggi sebagai pusat pelancongan, yang berkonsepkan alam semula jadi merangkumi kawasan air terjun, sungai dan pantai. Menurut Yang Amat Berhormat Menteri Besar, pembangunan komprehensif oleh syarikat swasta akan dilakukan. Walau bagaimanapun, saya mendapati bahawa kerajaan negeri tidak memperincikan fokus dan usaha di daerah Kota Tinggi bagi mencapai matlamat ini seiring Tahun Melawat Johor 2020.

Untuk pengetahuan pihak kerajaan Pakatan Harapan, pusat pelancongan ini sudah menjadi salah satu agenda pembangunan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dengan acuan tersendiri iaitu strategi pertumbuhan daerah namun begitu kerajaan hari ini tidak menjelaskan dengan baik dan menjadi tanda tanya kepada saya dan warga Kota Tinggi dan DUN Panti apakah lonjakan baru yang akan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Bagi hal-hal ehwal ataupun kesejahteraan warga FELDA di negeri ini khususnya di kawasan Panti. Saya dan rakyat DUN Panti amat kecewa apabila tiada sebarang bentuk perancangan jitu dan peruntukan khusus yang melibatkan FELDA oleh kerajaan negeri. Antara lain tiada peruntukan bagi banyaknya pembangunan seperti infra dan sistem perparitan malahan banyak lagi sosioekonomi di kawasan FELDA yang kian bermasalah. Secara peribadi, saya berharap agar kerajaan negeri dapat memperkasakan pembangunan sosioekonomi warga FELDA. Pada pandangan saya kerajaan negeri harus menjadikan wilayah FELDA sebagai lembah makanan dan agro pelancongan, upayakan usahawan dan koperasi. Menjayakan Program Pembangunan Insan serta menyelesaikan beberapa isu rumah generasi kedua FELDA.

Seterusnya, saya melihat kerajaan negeri tidak memandang serius terhadap sebarang bentuk bantuan inisiatif mahupun insentif yang memfokuskan masyarakat Orang Asli dan orang kampung di Johor. Belanjawan Johor 2019, yang tidak holistik ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak mengambil berat terhadap kebajikan Orang Asli. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM200,000.00 yang sekadar memperkasa pengurusan tanah rizab Orang Asli. Peruntukan ini adalah sikit jika dibandingkan sebelum ini iaitu sebanyak RM500,000.00 yang merangkumi pembangunan Orang Asli. Dengan memahami nadi, denyut golongan ini khususnya di kawasan Panti seperti di Kampung Orang Asli Sayong Pinang dan Kampung Orang Asli Kempas Menang, kerajaan negeri perlu melakukan transformasi dari aspek pembangunan infrastruktur asas, pembangunan modal insan, komuniti dan pembangunan ekonomi.

Berdasarkan inisiatif kerajaan negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan sebanyak RM13.7 juga diperuntukkan kepada 11 daripada 16 Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan geran keseimbangan negeri yang akan dimanfaatkan untuk kemudahan-kemudahan awam, pengurusan sisa pepejal dan menyelesaikan aduan-aduan awam. Namun demikian, saya ingin mengetahui sejauh mana agihan ini kepada pihak PBT dan keberkesanan serta keupayaan PBT dalam menyelesaikan aduan-aduan dengan kadar segera. Isu seterusnya adalah yang berkaitan dengan satu isu yang mungkin tidak dimasukkan ataupun tidak disentuh secara langsung di dalam belanjawan yang telah dibentangkan iaitu berkaitan dengan guru agama.

Pada Bajet Tahun 2018, kita ada Tabung Latihan Kemahiran Penjawat Awam Johor (PDT). Salah satu manfaat tabung ini adalah untuk memberi pendedahan teknik mengajar kepada lebih 390 guru KAFA di negeri Johor. Namun Belanjawan 2019, tidak menunjukkan usaha untuk mengatasi masalah guru sekolah agama. Mungkin kerajaan tidak sedar akan masalah yang pertama kurangnya tenaga

pengajar di sekolah agama dan yang kedua ramai lepasan MARSAH yang masih menunggu untuk dihantar mengajar malah ada yang sudah 3 tahun habis belajar masih menunggu untuk dipanggil.

Mengapa, soalannya sekarang, mengapa kerajaan sibuk memfokuskan pelbagai kajian malah ingin ditambah lagi universiti, menaik taraf kolej kepada universiti sedangkan masalah sebegini diabaikan. Jika semakin banyak universiti kelak, semakin bertambah graduan. Cukup kah peluang pekerjaan yang mampu disediakan untuk mereka dengan pembatalan ataupun penangguhan banyak projek-projek seperti di kawasan Tenggara iaitu Johor Eco Entertainment Park yang masih lagi ditangguhkan. Saya rasa isu-isu seperti ini kekurangan pekerjaan dan sebagainya akan selalu atau akan berterusan dan semakin parah.

Seterusnya, selaras pertumbuhan ekonomi digital, saya mendapati kerajaan negeri seperti tiada lonjakan idea baru dalam mencapai hasrat revolusi industri keempat. Kerajaan negeri hanya akan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi Pelan Transformasi Digital Negeri Johor. Mengapakah kerajaan membazirkan wang yang diperuntukkan untuk merangka pelan yang dikatakan baru ini sedangkan Pelan Tindakan Digital Johor atau Johor 4.0 telah dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Adakah kerajaan hanya mampu merangka sistem e-wallet sahaja.

Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, kerajaan Barisan Nasional terdahulu pernah memperkenalkan aplikasi PBT yakni PBT Apps dengan izin di telefon pintar dengan projek perintis di daerah Johor Bahru. Hal ini juga termasuk sistem e-kewangan Johor, sistem pemantauan projek dan sistem hasil tanah versi 2.0.

Seterusnya, Lembah Inovasi Johor yang diperuntukkan sebanyak RM500,000.00 sebagai dana permulaan dengan melibatkan kepakaran universiti-universiti di Johor. Pihak industri dan Institusi Universiti Strategik Negeri Johor (IISJ). Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Pakatan Harapan bersikap ambil mudah kerana tidak menetapkan sasaran perancangan seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu seperti Project Mollescure ataupun sistem rawatan dan penyingkiran sisa logam toksik daripada kerang serta Project Bio feed atau makanan lembu dan kambing berasaskan bio teknologi dan banyak lagi.

Selain itu, kerajaan Pakatan Harapan juga tidak mampu meletakkan fokus Projek Lembah Inovasi Johor ini kerana kerajaan Barisan Nasional Johor pernah mensasarkan daerah Kulai bagi pembangunan Lembah Digital Sedenak.

Dalam mendepani cabaran bencana alam yang sukar dijangka kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM23 juta bagi projek rancangan tebatan banjir dan saliran. Jumlah tersebut adalah berkurangan jika dibandingkan dengan peruntukan kerajaan BN yang sebelum ini iaitu sebanyak RM35 juta. Kerajaan negeri perlulah menyelesaikan masalah perparitan dan saliran yang kian meruncing, terutamanya di kawasan bandar berfokus dan di luar bandar.

Seterusnya dana khas bantuan bencana yang diperuntukkan sejumlah RM20 juta juga tidak diperincikan dengan jelas berkenaan agihan dan perlaksanaannya. Saya berharap kerajaan negeri juga tidak ketinggalan untuk melawat atau meninjau ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir dan bukanlah setakat meletakkan angka jutaan ringgit sahaja. Malahan kerajaan negeri juga tidak memandang berat terhadap masalah-masalah perparitan seperti saliran air yang sentiasa tersumbat di kawasan perumahan di bandar mahupun di luar bandar termasuk kawasan FELDA. Menyedari hakikat sumber alam terutamanya hutan kian terancam, namun kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM500,000.00 dalam usaha memelihara dan memulihara sumber hutan. Seharusnya, kerajaan perlu lebih melihat kepincangan aktiviti-aktiviti penerokaan dan sekali gus mengawal dan menyelesaikan masalah berbangkit di seluruh negeri. Perkara ini amatlah penting terutamanya di daerah-daerah yang memiliki sumber hutan yang agak besar seperti daerah Kota Tinggi dan Kluang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sememangnya kami di kawasan pembangkang, memberi peluang kepada kerajaan negeri bagi merangka dan melaksanakan belanjawan. Oleh sebab itu, kami sebagai pengimbang tara serta semak dan imbang terhadap perancangan kerajaan. Janganlah kami dituduh dengan pelbagai-bagai tohmahan dan sebagainya. Pada akhir perbahasan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada kerajaan atas kesinambungan program-program yang telah saya sebutkan sebelum ini pada awalnya iaitu program-program yang pernah dijalankan oleh Barisan Nasional sebelum ini.

Akhir sekali diharapkan persoalan yang saya dan juga sahabat-sahabat saya bangkitkan sepanjang perbahasan dapat dijawab ataupun diberikan ulasan oleh Yang Berhormat EXCO atau Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana kalau dilihat pada sidang lepas, banyak isu-isu yang dibangkitkan tidak dijawab dengan baik dan tidak dijawab dengan sempurna. Mungkin tak ada jawapan. Tapi pada hari ini banyak hari dah kerajaan Pakatan Harapan menjadi kerajaan dan saya yakin boleh menjawab dengan lebih baik. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih kepada Yang Berhormat Panti. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam pukul 4.00 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3:40 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 4:00 petang.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan disambung semula. Yang Berhormat Tanjung Surat, jemput.

Assalammualaikum warahmatullahi wabaraktuh. Selamat petang dan salam Muafakat Johor. Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, sila terus duduk. Jangan lari.

Terlebih dahulu Tanjung Surat ingin merafakkan sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60 pada 22 November yang lalu. Daulat Tuanku. Tanjung Surat juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor kerana telah di anugerah Darjah SPMJ Pangkat Pertama sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku baru-baru ini. Saya sekali lagi juga ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah selamat membentang Bajet 2019 dalam masa 3 jam lebih sikit. Ini adalah satu tempoh yang agak lama berbanding dengan ucapan-ucapan bajet terdahulu. Baik di Parlimen mahupun di Dewan Negeri, yang rata-rata lebih kurang 2 jam. Kebanyakannya kurang daripada 2 jam. Dengan umur beliau yang lebih berusia daripada saya tapi beliau tetap steady sahaja dalam menyampaikan ucapan bajet itu. Tahniah Yang Amat Berhormat. Saya suka mencadangkan kepada Jurutulis, lain kali menyediakan air minuman supaya Yang Amat Berhormat dapat membasah tekak. Penceramah agama ada yang tak sampai 1 jam berceramah pun disediakan air. Kalau ada peraturan tak boleh minum, kita mintak Speaker longgarkan ya, di masa lain lah.

Saya terkejut juga kerana dalam bajet ini saya dengar nama bas Muafakat Johor. Sedangkan dalam persidangan yang lepas bas ini akan ditukar nama kepada Bas Harapan. Jadi eloklah kalau dah guna pakai balik nama bas Muafakat Johor ni, kerana nak tukar nama kepada Bas Harapan Johor memakan belanja juga ya. Bahkan bas pun bukan sebiji dua.

Dalam bajet ini saya tengok tiada inisiatif mengenai pembangunan industri bioteknologi. Ketika zaman pentadbiran lalu telah banyak kejayaan dicapai dalam bidang ini. Saya harap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan penambahbaikan supaya industri bioteknologi di negeri Johor ini akan berkembang lebih rancak lagi. Tak perlulah saya mengulas lebih lanjut bajet 2019 ini secara keseluruhannya kerana telah banyak diulas oleh pembahas-pembahas dari kami pembangkang yang telah berucap sebelum saya. Biarlah saya bahas dengan menyentuh beberapa isu khusus bajet ini.

Mengenai latihan kemahiran yang mana bajet ini ada menyediakan peruntukan satu dana khas untuk membantu pelatih-pelatih yang berminat mengikuti kursus kemahiran. Dalam konteks Pengerang, kita mempunyai keperluan kemahiran dalam bidang minyak dan gas serta dalam bidang pelancongan dan perhotelan, khususnya dalam projek Desaru Coast ya, yang telah dibuka kepada umum. Di kawasan Pengerang kita mempunyai banyak pusat latihan. Kita ada IKBN, Institut Kemahiran Belia Negara, Kolej Komuniti, Kolej INSTEADT, Kolej Profesional MARA dan jauh sikit, Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang. Kolej Yayasan Johor pun menawarkan berbagai kursus. Beberapa bulan sebelum pilihan raya Ke-14 yang lalu, Kementerian Pelajaran, Menteri Pelajaran pun melawat ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan di Tanjung Pengelih di kawasan saya, dan membuat keputusan pada dasarnya, untuk menukarkan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pengelih ini menjadi sebuah kolej Vokasional khusus dalam bidang minyak dan gas. Kerana sekolah ini berhampiran dengan RAPID. Sekolah ini kerana nak ditutup ataupun nak digantikan dengan Kolej Vokasional, kerana sekolah ini mempunyai pelajar yang paling rendah sekali dalam seluruh Malaysia

saya rasa. Cuma ada 60 murid sahaja, 60 pelajar sahaja sekolah ini. Jadi, saya tak tahulah kerajaan sekarang ingin mengingatkan kerajaan pusat, kalau mahu terus menukar Sekolah Menengah Kebangsaan menjadi sebuah Kolej Vokasional dalam bidang industri minyak dan gas. Kerjasama erat dengan pemain-pemain industri seperti PETRONAS dan DIALOG Berhad haruslah dipupuk agar latihan kemahiran yang diberi selari dengan keperluan semasa industri. Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor sangat sesuai memainkan peranan ini bukan sahaja untuk mendapatkan kemahiran kepada rakyat kita, golongan muda tetapi untuk mendapatkan pekerjaan kepada yang telah dilatih. Dalam industri minyak dan gas di Pengerang sekarang adalah dalam fasa hujung construction atau pembinaan. Mulai tahun depan loji penapis minyak akan mula beroperasi, tamatlah fasa pembinaan, masuk fasa operasi. Dan dari segi kursus pun kena ada ubahsuaian maknanya penekanan kepada fasa operasi. Jadi pusat-pusat latihan kemahiran ini harus ambil maklum mengenai perkara ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin membawa beberapa isu tempatan yang khusus, saya ingin melaporkan sedikit mengenai kemajuan terkini Pengerang Integrated Complex, dengan izin oleh Petronas yang saya dimaklumkan Oktober lalu telah mencapai 96 peratus kemajuannya. Dijangka akan beroperasi pada suku pertama tahun 2019. Produk petroleum, loji penapisan minyak akan mula beroperasi suku tahun pertama tahun pertama tahun hadapan menghasilkan produk-produk petroleum suku pertama tahun depan dan loji-loji yang menghasilkan produk-produk petrokimia akan mula beroperasi dalam suku kedua tahun 2019.

Alhamdulillahlah, pembangunan industri minyak dan gas berjalan lancar dan mengikut jadual. Tetapi malangnya isu-isu berkaitan perpindahan dan penempatan semula penduduk-penduduk dari 7 buah kampung untuk membolehkan kawasan yang ditinggalkan dibangunkan untuk industri minyak dan gas oleh Petronas DIALOG Berhad masih, isu-isu berkaitan masih belum diselesaikan. Rumah-rumah yang dibina untuk mereka yang terlibat, masih ada yang rosak-rosak dan mendak. Sebahagian jalan-jalan dalam kawasan Taman Bayu Damai mendap dan bergelombang, lampu-lampu jalan yang tak bernyala lagi tidak langsung diganti. Sistem kumbahan rosak, malahan sistem ini tidak diterima oleh IWK. Geran rumah untuk mereka yang mendapat rumah subsidi telah dibayar premium tapi belum dapat gerannya. Geran tanah 2 ekar untuk tanah gantian, ada yang dah dapat geran, masih ada yang belum.

Perumahan transit, mereka yang ditempatkan di rumah transit sepatutnya tinggal selama 2 tahun sahaja. Tetapi malangnya mereka terus tinggi melebihi 4 tahun sekarang. Tapi keadaan rumah-rumah yang akan ditawarkan tapi rumah-rumah yang akan ditawarkan kepada mereka masih belum siap-siap lagi. Keadaan rumah mereka tinggal sekarang menyedihkan, atap bocor, dinding retak, pihak manakah yang akan membaikinya? Rumah-rumah kekal untuk mereka diami masih belum disiapkan. Rumah-rumah yang ada dibina berhampiran oleh KPRJ terlalu mahal untuk mereka beli. Ada satu sahaja berita baik dalam Bajet 2019 yang telah dibentangkan iaitu kelulusan pembinaan sebuah masjid untuk Taman Bayu Damai berharga RM7 juta, RM5 juta daripada kerajaan pusat dan RM2 juta dari kerajaan negeri. Sebenarnya RM5 juta daripada kerajaan pusat telah diluluskan awal tahun ini tapi bila pertukaran kerajaan mula-mula kita dengar projek ini tidak akan diteruskan. Tapi alhamdulillah akhirnya kerajaan pusat bersetuju untuk meluluskan RM5 juta dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menambah lagi RM2 juta untuk menjadikan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM7 juta. Selain daripada itu, rumah-rumah yang ada tinggal di kampung lama, kampung asal yang tidak terlibat dengan pemindahan ke Taman Bayu Damai ada lagi kampung asal yang tak terlibat tanahnya tak diambil, ada lebih kurang 15 biji rumah dia tersepit, jalan P1 projek P1 satu pembinaan jalan baru dan sempadan RAPID mempunyai aras yang tinggi. Maknanya rumah kawasan yang 15 rumah ni dalam kawasan rendah jadi rendahlah, dulu rata saja tetapi kerana tinggi dua-dua belah dia dah jadi macam kawasan yang kalau hujan lebat boleh banjir dan boleh memusnahkan harta benda kalau tak pun kecederaan dan sebagainya.

Oleh kerana memandangkan keadaan begini teruk kerajaan dulu telah meminta Petronas supaya mengambil alih kawasan ini. Lebar kawasan ini lebih kurang daripada jalan ini ke pagar Petronas itu, RAPID tu tak sampai 100 meter pun, dalam 70 meter. Jadi Petronas telah setuju untuk diambil alih macam apa CSR lah Corporate Social Responsibility membantu rakyat yang memang teraniaya oleh projek ini dan juga projek jalan ini. Tapi malangnya proses pengambilannya masih tersangkut sampai sekarang. Jadi saya harap sementara Petronas setuju untuk membayar ni, untuk mengambil alih ini saya harap kerajaan negeri percepatkanlah supaya tanah ini dapat diambil segera dan dapat dibuat bayaran kepada mereka yang terlibat dan mereka boleh berpindah ke tempat lain. Jadi saya haraplah kerajaan negeri mengambil tindakan yang segera untuk mengatasi masalah penduduk di kawasan ini yang terlibat.

Saya ingin juga membawa mengenai Sekolah Menengah Tanjung Dato, di kawasan Pengerang yang telah dibuat keputusan oleh pihak Kementerian Pelajaran mulai 1 hari bulan Januari 2019 ini supaya sekolah ini yang telah diambil alih oleh DIALOG kerana dia telah diambil alih kawasan itu, sekolah tu pun dah dibayar untuk berpindah 1 hari bulan Januari 2019 ke sekolah lain, ke sekolah yang Sekolah Menengah Tanjung Pengelih ada sebahagiannya mungkin ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Penawar.

Jadi penduduk di kawasan saya di mana-mana anak-anak yang terlibat di sekolah ini tidak bersetuju untuk berpindah sementara sehingga sekolah yang ada di Taman Bayu Damai itu di disiapkan. Sekolah itu hampir siap tapi belum siap, tapi dengan kemurahan pihak DIALOG Berhad dapat dipindahkan tarikhnya kepada Jun baru dia lepas Julai baru dia akan ambil kawasan yang telah dia apa ni bayar pampasannya. Jadi saya harap pihak Kementerian Pelajaran tidak memaksa pelajar-pelajar ini pindah ke sekolah lain dalam masa yang terdekat ini supaya bila Sekolah Menengah Kebangsaan di Taman Bayu Damai siap baru berpindah, sekali aje pindahnya tak payahlah nak pindah 6 bulan atau setahun lepas tu nak pindah lagi sekali. Saya harap Kementerian Pelajaran akan menarik balik keputusannya untuk berpindah kepada 1 hari bulan Januari 2019 ini ke sekolah sementara.

Yang Berhormat Puan Speaker, 8 buah projek infrastruktur telah diluluskan oleh kerajaan pusat untuk negeri Johor. Malangnya tiada projek menaikkan taraf 2 lorong kepada 4 lorong Lebuh raya Senai – Desaru, dari persimpangan Cahaya Baru hingga ke Bandar Penawar. Dengan pembangunan yang begitu pesat dan penambahan lalu lintas di daerah kecil Pengerang, projek ini hendaklah diberi keutamaan kerana laluan lalu lintas bila daripada Senai atau daripada persimpangan Ulu Tiram nak hala ke Pengerang selepas persimpangan Cahaya Baru daripada 4 lorong pergi 2 lorong. Jadi laluan dah jadi lalu lintas dah tercekik, dah ada bottle neck. Bila dia sampai panjangnya jalan yang 2 lorong ini adalah lebih kurang 26 kilometer. Bila dia sampai Penawar dia pusing kanan nak pergi ke RAPID dan kawasan pembangunan industri minyak dan gas ini dan juga ke Desaru Coast pusing ke kanan dah 4 lorong dah siap. Jadi maknanya 4 lorong pergi 2 lorong pergi 4 lorong balik.

Tapi saya rasa ini adalah keperluan yang mendadak dapat kerajaan mengambil tindakan untuk menaikkan taraf dari 2 lorong kepada 4 lorong dari persimpangan Cahaya Baru itu ke Bandar Penawar supaya lalu lintas akan lebih lancar. Saya sangat berharap kerajaan persekutuan dapat melaksanakan kalau setahu saya kawasan yang 2 lorong ni pun di, saya tak tahu nak katakan dipunyai boleh ke tidak tahu oleh pemegang konsesi highway Senai – Desaru, ini. Ya kalau nak suruh dia buat, mintaklah suruh dia buat, kalau kerajaan boleh buat tanpa apa boleh buat dulu dan macam mana kira dengan pihak konsesi saya tak peduli itu, saya kira saya hendak jalan ini, lebuh raya ini yang sepanjang 26 kilometer tu yang 2 lorong dinaikkan taraf kepada 4 lorong dengan segera.

(Berhenti bagi memberi laluan laungan azan).

Saya ingin menyentuh infrastruktur air. Dalam bajet ini projek infrastruktur air dan pengurusan sumber air peruntukan sebanyak RM16 juta telah dicadangkan. Daerah kecil Pengerang mendapat RM3.5 juta bagi membantu Loji Rawatan Air di Sungai Lebam untuk mendapat tambahan bekalan air mentah dan juga air bersih untuk membekal di kawasan Pengerang di masa akan datang. Setahu saya projek ini sedang jalan untuk menaikkan keupayaan Loji Rawatan Air Sungai Lebam ini sehinggalah 85 juta liter sehari. Sekarang kapasiti maksimum hanyalah 55 juta liter sehari. Adalah diharap setelah siap kerja ini sepatutnya daerah kecil Pengerang tak ada masalah bekalan air bersih lagi. Tapi buat masa ini dari masa ke semasa masih ada lagi masalah bekalan air terganggu, terbitan dari masalah pengagihan, distribution dengan izin. Ia disebabkan oleh paip-paip kecil, dah lama umurnya, ada yang bocor dari masa ke semasa dan ini perlu diganti segera untuk memastikan agihan bekalan air berjalan lancar.

Timbalan Speaker

Sila gulung.

Di kawasan Pengerang, kerja-kerja paip lama hendaklah disegerakan bagi mengelakkan walaupun kita dah naikkan keupayaan Loji Rawatan Air Sungai Lebam sampai 80 lebih tadi, 84 juta liter sehari, tapi kalau masalah paip ini tidak diselesaikan gangguan tetap berlarutan. Selain daripada itu saya tak risau dengan bekalan air mentah di kawasan Pengerang kerana pihak Petronas ada berjanji boleh membekalkan sekurang-kurangnya 30 juta liter sehari air mentah daripada sistem paip dia yang pergi ke RAPID tu, dia boleh

tab off ataupun sumbang kepada Empangan Sungai Lebam, 30 juta liter sehari. Jadi maknanya bekalan air mentah dan untuk diproses tak ada masalah, cuma pengagihan.

Puan Speaker, ada perkara-perkara kecil yang saya ingin timbulkan localized issue macam ada kuari di sebuah kampung di tempat saya letupan oleh pihak pengusaha kuari selalu mengganggu penduduk yang berhampiran sehingga batu terbang kena rumah, cuma belum kena orang aje. Ya, saya dah buat laporan ke Jabatan Alam Sekitar dari masa ke semasa tapi tak berkesan. Polis pun saya dah beritahu, jadi saya harap dapat kerajaan mengambil serius perkara ini supaya tidak ada orang yang hilang nyawa ataupun cedera oleh kerana pengusaha kuari ini, ,bila pergi aje kononnya menurut laporan yang diterima kononnya yang batu terbang tu pun katanya masih belum maksimum lagi. Dia punya kekuatan bomnya tu, letupannya tu,

Timbalan Speaker

YB lagi satu minit.

Ya. Ok, no problem dengan izin. Jadi saya harap kuari ini dapat mengikut …..

Timbalan Speaker

Mengadu ke PTG ke

Tak, saya nak pihak yang berkenaanlah supaya ambil tindakan segera. Jeti DIALOG, Jeti DIALOG ni kat Pengerang dia satu jeti panjang ada lebih 1.5 kilometer jeti ya, apa ni, fasa 1, fasa 2 dan sekarang dah fasa 3. Nelayan-nelayan saya suka pergi situ, pasal ikan banyak dan besar-besar ikan dia. Boleh dapat sampai beribu pendapatan, tapi katanya kawasan ini telah diwartakan kerana kawasan maklumlah kawasan minyak dan gas merbahaya, tapi dia curi-curi juga pergi. Banyak kali kena tangkaplah oleh Polis Marin atau APMM, ada yang dalam kereta Polis telefon saya, saya ni kena tangkap. Kenapa? Masuk kat jeti tangkap ikan. Yang saya timbulkan ni saya minta betul-betul ni boleh ke tak boleh, kalau tak boleh sampai mana biar jelaslah. Kalau tidak maklumlah pendapatan bagus semua nak pergi situ. Jadi saya harap dapat dicari solusi. Yang ketiga yang last …

Timbalan Speaker

Belum tamat lagi ya,

Last, kasi 30 saat. Anjing liar, saya tak tahu siapa saya nak mengadu Jabatan Haiwan ke, PBT ke saya tak tahu. Banyak kampung yang memberi aduan kepada saya masalah anjing liar. Saya suka mencadangkan anjing liar ni mungkin sekarang kita tak boleh tembak, kejam mungkin kumpul lah kita eksport ke Korea Selatan kerana di Korea Selatan saya diberitahu 2 juta ekor anjing disembelih untuk di makan. Jadi ini hasil untuk negara.

Timbalan Speaker

Ini pun kejam juga.

Kejam juga, makan, tapi 2 juta setahun mungkin dia perlu lagi. Akhirnya saya menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat ke kawasan Pengerang melawatlah pelancongan di Pengerang, Desaru Coast dah buka boleh main golf di Els Club dan boleh menginap di Desaru, Hard Rock Hotel Desaru dan lain-lain, water park, river side dan macam-macam. Jadi selamat datang ke Pengerang khususnya dalam masa cuti sekolah ini. Itu sahaja, dapat saya sampaikan pada pagi ini. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih kepada YB Tanjung Surat. Yang Berhormat Maharani, jemput.

Puan Nor Hayati binti BachokAMANAH · PHMaharani

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillahi rabilalamin (berselawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera, salam harapan, salam Sayangi Malaysiaku.

Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani mengucapkan jutaan terima kasih di atas peluang dan ruang yang diberikan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan negeri Johor 2019. Terlebih dahulu sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim yang ke-60, November yang lalu. Maharani mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam keadaan sihat sejahtera, dilanjutkan usia untuk terus menaungi sekian rakyat dengan adil dan saksama. Maharani juga merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat

Menteri Besar, Dato’ Haji Osman Sapian atas penganugerahan Darjah Kebesaran Darjah Mahkota Johor sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia baru-baru ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari. Maharani mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar bersama-sama barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan para pegawai kanan kerajaan negeri atas pembentangan belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan Johor ke arah memastikan kesejahteraan rakyat terus diutamakan dan harapan besar rakyat terus dapat dipenuhi oleh kerajaan pilihan mereka.

Selain itu, Maharani mengucapkan setinggi-tinggi syabas kepada kerajaan atas 3 ciri penting belanjawan 2019, iaitu:

Yang pertama, usaha kerajaan negeri mengambil kira maklum balas dari suara rakyat berdasarkan falsafah demokrasi dari rakyat untuk rakyat dan kepada rakyat. Merupakan satu langkah positif bagi memperteguhkan keyakinan rakyat terhadap iltizam berterusan kerajaan untuk meningkatkan kemampuan ekonomi negeri Johor.

Yang kedua, belanjawan 2019 yang dijangka akan mengalami lebihan atau surplus sebanyak RM3.43 juta berpunca dari dasar fiskal negeri yang berkesan dengan melaksanakan perbelanjaan berhemah dan berintegriti serta pengurusan cekap atas hasil yang mampan.

Yang ketiga, persekutuan kerajaan persekutuan, untuk melupuskan hutang lapuk kerajaan negeri sebanyak RM189 juta selain persetujuan penyelesaian ke atas jumlah baki hutang sebanyak RM145 juta ke arah menjadikan Johor bebas hutang mulai tahun-tahun berikutnya.

Yang Berhormat Puan Speaker, di sebalik semua khabar gembira ini, iklim ekonomi global pada 2019 dijangka lebih suram dengan pelbagai ketidaktentuan dasar perdagangan antarabangsa dan geopolitik yang kian mencabar. Walaupun Bank Negara Malaysia berpendapat, momentum pertumbuhan negara pada 2019 dijangka terus mampan di sokong oleh perkembangan perdagangan global yang kekal mantap, peningkatan pengeluaran komoditi serta persekitaran pasaran buruh yang lebih baik. Badan penarafan Fitch Solution Macro Research, dengan izin pada 19 November 2018, telah menyemak turun, downgrade dengan izin unjuran pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia kepada 4.6% pada 2018 berbanding 5.1% sebelumnya. Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2019 dijangka menurun lagi kesan impak negatif daripada ketidaktentuan meluas daripada hampir semua komponen perbelanjaan KDNK termasuk pertumbuhan eksport dan pelaburan. Kemungkinan meningkatnya pertikaian perdagangan Amerika Syarikat–China di tengah-tengah harga sawit masih rendah yang akan mempengaruhi imbangan perdagangan negara ini. Justeru Maharani berpendapat belanjawan negeri 2019 berada di landasan tepat untuk memacu pertumbuhan di peringkat negeri menerusi penekanan 6 teras strategik yang mampu mewujudkan iklim ekonomi kondusif di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani menyambut baik teras pertama belanjawan 2019 iaitu Menjamin Kesejahteraan Rakyat yang selari dengan konsep pengagihan kemakmuran negeri atas prinsip keserataan kepada seluruh rakyat. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Zukhruf ayat 32 (bacaan ayat al-Quran) yang bermaksud, “Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, setengahnya kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita, dan juga kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengah yang lain, semuanya itu supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari bantuan setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka mengumpulkannya”.

Menginsafi falsafah dalam ayat ini, sesungguhnya kekayaan negeri adalah tidak lain untuk membantu rakyat, diagihkan kepada mereka secara saksama bagi meringankan beban mereka. Oleh itu, fokus kerajaan negeri untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat harus dilaksanakan secara sistematik dan berterusan bagi memastikan setiap golongan sasar dapat menikmatinya tanpa sebarang diskriminasi mahupun kelemahan pelaksanaannya.

Jurang pendapatan antara kaya dan miskin yang semakin melebar merupakan situasi yang membimbangkan dan Johor juga tidak terlepas daripada masalah ini. Profesor Dr. Jomo Sundaram menegaskan bahawa kesenjangan pendapatan dan ekonomi telah sekian lama mendominasi

perbincangan ekonomi sosial dan politik di Malaysia. Hal ini bukan sahaja tidak selesai, malah isu kesenjangan ekonomi jurang pendapatan antara golongan kaya miskin telah menjadi pendebatan universal. Dalam aspek ini, Maharani ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini akan hakikat kenaikan kos sara hidup yang semakin hari membelit kehidupan rakyat terutamanya golongan B40. Maharani mengambil perhatian akan pengumuman kerajaan atau peruntukan iaitu bantuan kupon perjalanan ke hospital dan klinik terpilih untuk golongan B40, warga emas, Orang Kelainan Upaya bagi meningkatkan akses golongan B40, warga emas dan OKU yang berdaftar di bawah skim bantuan am negeri Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyediakan kupon bantuan perjalanan bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,500 orang untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing dan teksi ezcab yang melibatkan kos sebanyak RM100,000.00. Maharani maklum bahawa bagi peringkat permulaan kupon ini boleh digunakan bagi perjalanan pergi dan balik ke 5 buah pusat kesihatan yang mempunyai kadar kehadiran yang tinggi. Namun maharani berharap inisiatif ini akan diperluaskan ke daerah-daerah lain khususnya daerah Muar dalam tempoh terdekat ini. Memandangkan jumlah golongan B40 yang semakin meningkat di daerah ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, kenaikan kos sara hidup merupakan antara isu utama yang mencengkam rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terutamanya di kawasan bandar dan separa bandar seperti di Maharani. Jika dahulu kita sering dikhabarkan dengan penghijrahan anak-anak desa ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik, kini kita mendengar pula semakin meningkatnya bilangan profesional yang dahulunya mencari rezeki di bandar-bandar besar, kini memilih untuk mencari pekerjaan di kampung halaman masing-masing. Gara-gara bebanan kos sara hidup di bandar yang terlalu tinggi menyebabkan mereka memilih alternatif ini. Oleh itu, inisiatif-inisiatif menangani kos sara hidup secara berterusan merupakan langkah terbaik yang harus menjadi keutamaan kerajaan. Pengumuman kenaikan gaji minimum oleh kerajaan persekutuan adalah langkah awal walaupun masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan sebanyak RM1,500.00. Kerajaan negeri juga wajar memberikan perhatian kepada pelarasan gaji di negeri ini bagi membantu rakyat menangani bebanan kos sara hidup dan meningkatkan kuasa beli mereka seterusnya memaju pertumbuhan ekonomi negeri.

Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani mengalu-alukan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan di dalam aspek Membangun Pesona Srikandi Dan Masyarakat iaitu program bantuan peralatan kepada golongan ibu tunggal dan srikandi berpendapatan rendah dan kursus peningkatan sosioekonomi golongan sasaran. Bagi memaksimumkan penyampaian dan kejayaan program-program ini, Maharani mencadangkan agar pangkalan data dan rekod ibu-ibu tunggal dan srikandi ini disemak semula, dikemaskinikan dan ditambah baik bagi memastikan hanya golongan sasar yang benar-benar layak dan berminat memanfaatkan faedah-faedah ini sahaja yang memperolehnya selain memastikan tiada penyalahgunaan atau penyelewengan bagi sebarang kemudahan yang diberikan.

Cadangan agar Pusat Jaya Diri dibangunkan di negeri Johor merupakan langkah murni untuk melahirkan usahawan dalam kalangan golongan sasar terdiri daripada ibu tunggal, golongan srikandi berpendapatan rendah dan Orang Kelainan Upaya dan pelbagai bidang. Memandangkan pusat ini berperanan sebagai pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti melibatkan srikandi, NGO dan kemasyarakatan yang memberikan tumpuan terhadap isu-isu srikandi keluarga dan sosial, Maharani berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan agar Pusat Jaya Diri ini juga dapat mewujudkan juga di daerah Muar bagi menyokong pembangunan insan yang mempunyai sifat yakin diri, kreatif, kritis, berintegriti dan kompeten di daerah ini. Maharani yakin, sebuah Pusat Jaya Diri di daerah Muar sebagai titik tolak melahirkan masyarakat bestari.

Maharani juga menyambut baik segala inisiatif yang bakal dilaksanakan dengan membangunkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan, NGO antaranya program Stop Its Survive (SIS) iaitu program kesedaran tentang menangani keganasan terhadap wanita yang akan memberi manfaat kepada seramai 2,500 rakyat juga konsep Mama Friendly bagi menyokong dasar penyusuan susu ibu kepada kakitangan awam wanita. Justeru itu peruntukan sebanyak RM50,000.00 akan disediakan bagi tujuan ini dan pusat pentadbiran akan dipilih sebagai projek perintis dan seterusnya diharapkan program akan diperluaskan kesemua premis kerajaan yang lain serta pembangunan taska Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) daerah. Maharani mencadangkan agar jumlah setiap taska ini ditingkatkan khususnya di daerah Muar bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati semua ibu bekerja di negeri Johor. Secara keseluruhannya maharani berpendapat inisiatif yang akan dilaksanakan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim ini adalah mekanisme terbaik untuk memperkasakan peranan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim ini dalam memperbaiki kehidupan sosio masyarakat Johor serta keseluruhannya.

Pemerkasaan Yayasan, agensi dan badan-badan bukan kerajaan yang mengkhususkan kepada pemberdayaan wanita, keluarga dan masyarakat harus terus digiatkan agar badan-badan ini menjadi rakan strategik yang berganding bahu dengan Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membela golongan srikandi dan golongan terpinggir yang lain termasuklah golongan orang kelainan upaya, warga emas dan anak-anak dari golongan berpendapatan rendah. Penubuhan NGO JASMIN iaitu Pertubuhan Amal Isteri Wakil Rakyat Pakatan Harapan Negeri Johor juga adalah usaha murni mengajak semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan, NGO, syarikat korporat dan perseorangan membantu golongan sasaran dari aspek kebajikan dengan harapan usaha yang dilaksanakan secara bersama itu dapat memastikan kebajikan insani rakyat terus terpelihara. Maharani berharap agar kerajaan sentiasa memberi sokongan padu dari segi kewangan, kemudahan fasiliti dan sumber manusia atas setiap usaha NGO-NGO yang berteraskan pengupayaan wanita, keluarga dan masyarakat pelbagai golongan.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam teras kelima belanjawan 2019 ini, iaitu Memodenkan Sistem Pendidikan Islam Modal Insan dan Warisan Budaya. Selain daripada segala aspek pendidikan dan pembangunan yang telah diumumkan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Maharani ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini akan aspek pemupukan dan peningkatan budaya ilmu melalui pembacaan. Berdasarkan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia, didapati secara keseluruhannya rakyat Malaysia membaca purata 15 hingga 20 naskhah buku setahun. Sebagai perbandingan, Korea Selatan membaca secara purata 40 buah buku setahun, malah Malaysia juga masih ketinggalan berbanding negara jiran, Thailand yang dicatatkan sebagai negara kedua paling banyak membaca dengan purata pembacaan 9.4 jam seminggu, diikuti dengan China dan Filipina. Ke arah mewujudkan masyarakat Johor membaca, Maharani menyeru kerajaan juga memberi tumpuan kepada aspek pembangunan perpustakaan di negeri Johor ini. Terlebih dahulu Maharani ingin merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Johor yang telah berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan mutu perkhidmatan perpustakaan awam daerah dan perpustakaan desa walaupun setelah sekian lama dibelenggu kekangan kewangan dan keterbatasan sumber, Maharani memohon perhatian kerajaan negeri untuk menyokong usaha mentransformasikan dan memberi nafas baharu yang lebih segar kepada institusi perpustakaan di negeri ini, sebagai pemangkin sumber maklumat dan pembangunan intelek masyarakat. Walaupun dalam era digital yang mana rakyat rata-ratanya membaca melalui gadget.

Neil Gaiman menggambarkan kepentingan perpustakaan di era digital ini dengan kata-katanya, ‘google can bring you back 100,000 answers, a librarian can bring you back the right one’, dengan izin. Bagi mencapai hasrat ini, Maharani mencadangkan pembangunan lebih banyak perpustakaan di setiap daerah, terutamanya perpustakaan desa di samping menaiktarafkan perpustakaan-perpustakaan awam yang sedia ada, menjadikannya perpustakaan berteknologi tinggi dengan fasiliti terkini yang menarik, mesra pelanggan daripada semua golongan termasuk Orang Kurang Upaya dan dilengkapi bahan bacaan ilmiah terbaru dan relevan agar dapat menarik minat masyarakat membaca.

Saya difahamkan keseluruhan, daripada keseluruhan perpustakaan desa di negeri Johor menghampiri 80% dikategorikan sebagai library yang sangat daif dan daif. Dan saya difahamkan juga, kebanyakan perpustakaan desa di negeri Johor, kali terakhir mereka mendapat peruntukan untuk pembangunan dan fasiliti adalah dalam tahun 1990-an. Bermakna sudah hampir 20 tahun perpustakaan desa di negeri Johor tidak mendapat sebarang peruntukan untuk dibangunkan mahupun di baik pulih. Termasuklah Perpustakaan Awam Cawangan Maharani yang sebentar lagi dalam minggu ini akan mendapat arahan daripada pihak yang berkenaan untuk ditutup kerana library, perpustakaan awam DUN Maharani telah tidak selamat digunakan kerana telah dimakan anai-anai.

Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani tertarik dengan satu lagi agenda di bawah Teras Kesejahteraan Rakyat iaitu Dinamika Upaya Kerajaan Tempatan. Pada tahun 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM13.7 juta kepada 11 daripada 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan Geran Keseimbangan Negeri. Bantuan kewangan ini akan dimanfaatkan oleh PBT dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan awam yang mencukupi dan selesa kepada rakyat. Pengurusan sisa pepejal yang berkesan dengan pemantauan yang berkala menyelesaikan aduan-aduan awam serta menjaga kebersihan dan kelestarian bandar. Selain itu, bagi meningkatkan kegiatan ekonomi dan keusahawanan dalam kalangan peniaga tempatan, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi menaik taraf pasar awam dan gerai-gerai untuk mewujudkan ruang niaga yang lebih teratur, bersih, kemas, santai serta mesra OKU. Ke arah memastikan setiap peruntukan yang diumumkan kerajaan ini dapat disalurkan dengan

cekap, telus dan berhemah untuk kesejahteraan rakyat, setiap PBT harus menjalankan peranan dengan efisien. Maharani menyeru setiap PBT memberi perhatian serius akan setiap teguran, pemerhatian dan rumusan audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang telah dibekalkan kepada para Ahli...

Timbalan Speaker

Sila gulung

Puan Nor Hayati binti BachokAMANAH · PHMaharani

Dewan Negeri. Antara teguran dan rumusan yang direkodkan dalam laporan ini ialah pengesahan kerja yang tidak teliti yang menyebabkan kerajan terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk tujuan pembaikan kerja yang tidak sempurna. Kaedah perolehan yang tidak dirancang dengan teliti sehingga kerajaan tidak memperolehi value for money, dengan izin daripada perbelanjaan yang dikeluarkan. Kelemahan penyeliaan dan pemantauan, pembayaran tanpa pesanan kerajaan dan pecahan kecil perolehan. Oleh itu, kebersamaan penyaluran setiap peruntukan ini mampu dicapai dengan memperbaiki segala kelemahan ini, kaedah perolehan hendaklah dirancang dengan teliti bagi memastikan kerajaan memperolehi value for money daripada perbelanjaan yang dikeluarkan. PBT meningkatkan penyeliaan, pemantauan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan bagi lebih telus, teratur dan berkualiti serta berkepentingan. Kerajaan harus terpelihara di samping memastikan kemudahan yang dibina tidak terbiar dan boleh dimanfaatkan oleh orang awam. Kita sama-sama elakkan kelemahan di peringkat perancangan dan pelaksanaan projek yang menyebabkan kerajaan lewat disiapkan dan rakyat lewat dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa, lantas menyebabkan matlamat-matlamat Belanjawan Negeri Johor 2019 ini tidak dapat dicapai.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Maharani dengan ini menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat (bacaan al-Quran), “Dan pada harta-harta mereka ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi hak untuk orang miskin yang menahan diri daripada meminta”. Hak untuk orang miskin ini sebenar rakyat ini merujuk kepada zakat daripada golongan yang berkemampuan untuk diagihkan kepada asnaf yang layak. Selain aspek kutipan zakat yang efisien, agihan zakat juga merupakan aspek penting yang perlu ditingkatkan kecekapannya agar golongan asnaf tidak terpinggir. Maharani mengambil maklum bahawa agihan zakat oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk tempoh Januari hingga Jun 2017 adalah melebihi RM150 juta. Oleh itu, Maharani menyahut secara positif penekanan yang diberikan kerajaan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor sebagai agensi yang bertanggungjawab mengurus pungutan dan agihan zakat akan terus melaksanakan peranannya bagi memelihara kesejahteraan masyarakat Islam melalui peruntukan wang zakat kepada lebih 160,000 orang merangkumi golongan asnaf, fakir miskin dan mereka yang memerlukan di seluruh negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM163 juta.

Selain daripada itu, bagi memastikan bantuan kebajikan asnaf menyampai sasarannya, sekali lagi Maharani menyeru agar sistem pangkalan data dan rekod para asnaf di setiap daerah dan seluruh negeri ini sentiasa dikemas kini dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Maharani juga mencadangkan selain pemberian dan pengagihan zakat secara terus, pemberian zakat sebagai wadah untuk mengeluarkan kelompok asnaf daripada golongan miskin dan miskin tegar juga diberikan tumpuan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor. Antaranya ialah dengan pengenalan skim micro credit kepada golongan asnaf agar dapat memulakan perniagaan dan memulakan hidup berdikari agar mereka pula satu hari nanti dapat membayar zakat dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani mendukung sepenuhnya teras keenam Belanjawan Negeri Johor 2019 iaitu Urus Tadbir Cekap Berintegriti Dan Demokratik. Kerajaan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan yang menggagaskan agenda pembaharuan dalam pentadbiran yang mengutamakan rakyat mempunyai tanggungjawab berat memastikan pengurusan ekonomi negeri terus berkembang, biar pun berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar. Tanggungjawab menguruskan khazanah negeri ini, merupakan amanah besar kepada barisan kepimpinan negeri. Maharani ingin tegaskan sekali lagi, bahawa pentadbiran negeri dan pengurusan ekonomi yang berkesan harus berteraskan prinsip tadbir urus yang baik atau good governance, dengan izin seperti yang disebut oleh rakan-rakan lain. Peruntukan dalam Belanjawan 2019 ini haruslah diagihkan kepada rakyat berteraskan prinsip-prinsip keamanahan, tadbir urus yang baik, sifar ketirisan dan perbelanjaan berhemah bagi memastikan setiap perbelanjaan adalah value for money tanpa mengabaikan keperluan pembangunan dan kepentingan rakyat.

Yang Berhormat Puan Speaker, sebagai mengakhiri perbahasan pada hari ini, Maharani mengingatkan diri sendiri dan mengajak seisi Dewan yang mulia ini menginsafi sepotong hadis

Rasulullah SAW dari Ibnu Umar r.a. ‘sesungguhnya Rasulullah SAW pernah berkata, kalian adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban, penguasa adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggungjawaban atas kepimpinannya’. Hadis Sahih Riwayat Bukhari Dan Muslim. Mesej yang jelas daripada hadis di atas adalah bahawa daripada peringkat mana pun, setiap dari kita adalah pemimpin, lebih-lebih lagi dengan posisi kita dalam kerajaan pada hari ini, amanah rakyat dijunjung tidak boleh dianggap remeh sebaliknya setiap perbuatan dan tindakan, setiap sen daripada wang hasil negeri dan rakyat yang dibelanjakan akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap daripada kita, maka wajiblah bagi kita melunaskan tanggungjawab ini dengan penuh jujur, amanah, telus dan berintegriti.

Saya mendukung iltizam kerajaan menerusi Belanjawan 2019 dengan ini demi kesejahteraan rakyat Johor tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang. Saya penuh yakin Belanjawan 2019 ini akan terus menerus memberi penekanan kepada aspek-aspek pemberdayaan wanita, keluarga, masyarakat, kelestarian alam semula jadi dan kemambapan pembangunan seimbang. Insya-Allah saya yakin segala matlamat Belanjawan 2019 ini mampu diilustrasikan dengan keazaman pembaharuan oleh barisan kepimpinan negeri diiringi kejituan sokongan rakyat Bangsa Johor. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 4 Disember 2018 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.