Johor · 24 November 2019

2nd session, 3rd meeting · 245 turns · 32,197 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh. (Bacaan selawat).

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, kita akan menyambung semula persidangan bagi Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2020) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Saya ingin juga menegur, dalam perjalanan saya ke Dewan tadi, kita terhalang saya kira dalam setengah jam juga saya terhalang untuk hadir ke Dewan ini kerana laluan kita telah digunakan untuk tujuan sukan basikal. Jadi, saya kira pada masa-masa akan datang supaya laluan untuk kita pergi ke pejabat, khususnya Dewan Negeri ini tidak terhalang dan bagi memudahkan semua anggota kita untuk hadir ke Dewan ini, begitu juga pegawai kerajaan, saya kira ramai lagi pegawai kerajaan yang terperangkap dalam kesesakan tadi.

Dalam soalan-soalan yang akan dilaksanakan selepas ini, saya ingin memajukan satu cadangan untuk dilaksanakan oleh semua, bagi mendapatkan jawapan lisan yang lebih banyak lagi berbanding dengan sebelum ini. Maka, saya limit kan beberapa perkara supaya kita dapat banyak soalan-soalan dapat dikemukakan. Pertama, jawapan daripada para EXCO kita bagi limit 5 minit saja jawapan tu, kecuali Menteri Besar. EXCO kita bagi 5 minit untuk jawapan bagi soalan lisan, soalan tambahan kita bagi masa 1 minit sahaja. Jawapan soalan lisan kita beri 2 minit dan soalan saya beri 2 sahaja untuk soalan tambahan ni. Satu saya utamakan kepada yang bertanya dan yang kedua saya buka kepada apa nama YB-YB yang lain.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berhormat Benut jemput.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh, salam sejahtera. Soalan saya Tuan Speaker, nombor 1.

Minta dinyatakan bagaimanakah kerajaan negeri mahu mengintegrasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di dalam pelan pembangunan negeri terutama sekali Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030?

Speaker

Jemput Yang Berhormat Maharani.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 2.

Apakah strategi dan tindakan kerajaan negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di bandar dan luar bandar bagi memastikan kek ekonomi negeri dinikmati secara saksama oleh semua rakyat berbilang kaum dan tiada rakyat yang dipinggirkan?

Speaker

Jemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Bismillahirrahmannirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker izinkan saya untuk menjawab soalan Yang Berhormat Benut dan Maharani mengenai Pembangunan Negeri Johor berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019 – 2030 secara bersekali. Kita sedia maklum bahawa Wawasan Kemakmuran Bersama yang dilancarkan

pada Oktober lalu menjadi naratif baru ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan etnik dan wilayah.

Secara jelas 7 teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2021 – 2030 yang telah dibentangkan amat selari dan turut diasimilasikan ke dalam teras-teras Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019 – 2030. Pelan pembangunan ini bukan sahaja memberi fokus kepada aspek memacu penelitian pertumbuhan ekonomi yang komprehensif sahaja, tapi turut menumpukan kepada pembangunan modal insan dan tadbir urus yang cekap.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri komited dalam mengagihkan kekayaan secara saksama dan pada masa sama sentiasa prihatin agar tiada lapisan rakyat yang tersisih daripada menikmati manfaatnya. Aspek perincian pembangunan juga seiring memberi penumpuan kepada pembangunan berasaskan wilayah yang turut meliputi kawasan luar bandar. Segala aspek melibatkan rakyat merangkumi penyediaan infrastruktur, fizikal mahupun pembangunan sosial di kawasan bandar serta luar bandar juga dititikberatkan dalam Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019 – 2030 yang kini di peringkat akhir.

Sesungguhnya wawasan kemakmuran bersama dan Pelan Pembangunan Mampan Johor mampu meningkatkan kemakmuran negeri Johor serta membentuk rakyat Johor yang bersatu padu dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas permuafakatan Bangsa Johor. Dengan adanya Pelan Pembangunan Mampan Johor dan wawasan kemakmuran bersama maka gerak kerja mengimbangi pembangunan dalam masa sama akan jadi lebih jitu dan holistik. Kebersamaan serta persefahaman di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri menjadi nadi utama kelangsungan pembangunan negeri Johor yang lebih pesat.

Apa yang boleh saya rumuskan di sini, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini mendapat perhatian sewajarnya. Tumpuan juga akan diberikan kepada pelaksanaan program-program berimpak tinggi yang dapat memberikan kemapanan ekonomi seperti aspek pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan inovasi. Kesimpulannya, saya yakin dan percaya melalui Pelan Pembangunan Mampan Johor yang juga selari dengan gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama ini rakyat di negeri Johor akan mendapat manfaat dan kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Terima kasih.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Ya Benut, jemput.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat di atas jaminan bahawa Pelan Pembangunan Mampan Johor ini akan diintegrasikan mengikut kepada hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Dalam masa yang sama Yang Amat Berhormat kita juga faham bahawa seperti mana yang dikatakan adanya keperluan inklusifviti dalam kita melaksanakan Pembangunan Mampan ini kita mengharapkan supaya ianya teratur dan tersusun.

Jadi soalan saya Yang Berhormat Tuan Speaker ialah pengagihan itu perlu adil dan saksama. Maka dalam kita mengkategorikan B40, M40, T20, adakah Yang Amat Berhormat merasakan bahawa perlu kita susun semula pendefinisian B40 ini, kerana mereka yang berada di Mersing tentu tak sama B40 di Johor Bahru. Di Johor Bahru B40 pun tidak sama dengan apa yang tergolong dalam B40 di Tangkak, misal kata. Jadi adakah kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji semula definisi B40 ini supaya hasrat untuk inklusifviti itu akhirnya tercapai, kemakmuran bersama itu tadi. Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Kita di kerajaan negeri sentiasa melakukan kajian-kajian untuk memastikan semua masyarakat baik dari golongan B40 ataupun di mana-mana golongan untuk menikmati kek pembangunan dan kek

kemajuan yang ada di negeri Johor. Insya-Allah kajian akan sentiasa dilakukan untuk keperluan yang diperlukan sebab itulah kenapa kita lihat adanya ECER, adanya IRDA. Tujuannya ialah untuk memastikan semua pembangunan dapat disamaratakan, insya-Allah dengan kerajaan yang lebih telus ini saya akan pastikan bahawa insya-Allah semua rakyat akan menerima kesan daripada pembangunan yang akan kita laksanakan. Terima kasih.

Speaker

Maharani.

Puan Norhayati binti BachokAMANAH · PHMaharani

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Mantan Menteri Besar Johor telah, soalan tambahan saya. Mantan Besar Johor telah melancarkan gerak kerja Pelan Pembangunan Mampan lebih setahun iaitu pada Ogos 2018. Apakah status terkini Pelan Pembangunan Mampan Johor, bilakah Pelan Pembangunan Mampan Johor akan dilancarkan dan diumumkan kepada rakyat Johor?

Speaker

Jemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Untuk makluman Yang Berhormat Maharani, kerajaan negeri menerusi perunding yang dilantik melibatkan beberapa universiti yang diketuai oleh UTM sedang giat menjalankan serta terlibat sama berhubung penyediaan kajian ini yang merangkumi pandangan daripada jabatan kerajaan, pemimpin tempatan, pihak swasta serta rakyat secara keseluruhannya. Pelan ini dirangka bagi memacu negeri Johor ke arah negeri berdaya saing menerusi strategi pembangunan yang mampan dan dinamik selain membangunkan Bangsa Johor ke arah pemikiran kelas pertama secara holistik dengan penekanan kepada pembangunan modal insan yang progresif, berinovasi dan bestari. Dokumen ini juga akan menjadi rujukan terhadap penyediaan dokumen strategik negeri Johor bagi Rancangan Malaysia Ke-12 dan ianya dijangka dilancarkan pada akhir suku pertama tahun 2020. Sekian, terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Kemelah jemput.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Boleh tambah lagi satu soalan?

Speaker

Saya bagi 2 aje Yang Berhormat.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Oh 2, walaupun penting tak boleh ya?

Speaker

Nanti, masa yang lain Yang Berhormat. Kalau penting nanti dalam perbahasan boleh masuk sekali. Yang Berhormat Kemelah jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker soalan nombor 3 dan soalan nombor 4.

Adakah kerajaan negeri akan mengikut langkah kerajaan persekutuan menurunkan harga hartanah jenis kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar dari RM1 juta kepada RM600,000 bagi mengurangkan jumlah lambakan hartanah tidak terjual di Johor?

Negeri Johor dilapor mempunyai rumah terbanyak belum dijual hasil ketidaksepadanan antara pendapatan dan harga rumah. Apakah langkah kerajaan negeri mengatasi masalah ini agar lebih ramai rakyat Johor mampu memiliki rumah sendiri, khususnya golong B40 dan M40?

Speaker

Yang Berhormat Tenggaroh jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker soalan nombor 5.

Apakah tindakan kerajaan negeri untuk mengurangkan jumlah ‘hanged property’ atau hartanah tidak terjual di negeri Johor terutamanya di kawasan Johor Bahru.

Speaker

Yang Berhormat Panti jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker soalan nombor 6.

Minta nyatakan adakah kerajaan negeri akan mengikuti polisi pemilikan rumah warga asing seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan persekutuan menerusi Belanjawan 2020?

Speaker

Yang Berhormat Mengkibol jemput.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Yang Berhormat Speaker soalan nombor 7.

Apakah polisi kerajaan negeri supaya penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000.00, bagaimana untuk memastikan ianya tidak menjejaskan peluang pembeli tempatan dalam pembelian rumah dan pinjaman rumah dalam sistem bank?

Speaker

Yang Berhormat EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia · Kota Iskandar

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon untuk menjawab soalan daripada Kemelah, Tenggaroh, Panti dan Mengkibol. Iaitu 5 soalan secara bersekali. Dan juga mohon masa lebihan sedikit. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya menjawab soalan lisan dikemukakan, saya mohon untuk membuat sedikit pencerahan tentang titik fokus 13 yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada hari Khamis yang lepas.

Mengikut rekod task force perumahan 7,723 unit Rumah Mampu Milik Johor telah siap dibina dari tahun 2018 hinggalah Oktober 2019. Manakala 16,865 unit lagi sebenarnya berada di peringkat pembinaan yang dijangka akan siap antara tahun 2020 hingga 2023. Dengan kata lain jumlah 16,865 unit ini bukanlah merupakan jumlah yang disasarkan oleh kerajaan negeri untuk dibina pada tahun 2020 dan 2023 sebagaimana yang ditularkan dalam media sosial.

Tuan Speaker, satu jawatankuasa telah dibentuk yang diketuai oleh Pejabat Tanah dan Galian Johor bagi mempertimbangkan sama ada kerajaan negeri perlu mengikut langkah kerajaan persekutuan dalam mengurangkan harga minima pemilikan kepentingan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.00. Jawatankuasa ini dianggotai oleh agensi kerajaan daripada negeri dan persekutuan seperti BPEN, PTG, SUKJ Perumahan, SUKJ Kerajaan Tempatan, Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC), Jabatan Perumahan Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan. Menurut laporan daripada Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) sehingga Jun 2019 terdapat 46,539 unit hartanah tidak terjual meliput pelbagai jenis dengan nilai RM30.729 bilion. Jumlah ini adalah merangkumi hartanah yang telah siap dalam pembinaan dan juga di peringkat kelulusan perancangan.

Bagi hartanah kediaman termasuk bertanah landed dan juga berstrata dengan izin, jumlah unit yang tidak terjual 17,194 unit dengan nilai RM10.5 bilion. Ianya mewakili 36.9% daripada jumlah keseluruhan hartanah tidak terjual. Bagi hartanah kediaman berstrata sahaja iaitu pangsapuri dan kondominium, jumlah unit tidak terjual adalah 5,736 unit dengan nilai RM2.609 bilion. Ianya mewakili 12.3% dari jumlah hartanah tidak terjual di negeri Johor.

Bagi hartanah berstrata di bawah kategori perniagaan ataupun dengan izin commercial iaitu pangsapuri perkhidmatan ataupun service apartment dengan izin, unit tidak terjual adalah 28,536 unit dengan nilai RM19.875 bilion, ia mewakili 61.4% daripada jumlah hartanah tidak terjual di negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pangsapuri perkhidmatan sebagaimana saya sebut tadi, adalah merujuk ke bawah kategori perniagaan. Ini bermakna tarif atau kadar air, elektrik, cukai pintu termasuk cukai tanah yang dibayar adalah berdasar kepada tarif kategori perniagaan dan bukannya kediaman. Bagi hartanah berstrata di bawah kategori perniagaan iaitu small house, home house, home office dengan izin, SOHO, unit tidak terjual adalah 759 unit dengan nilai RM346.92 juta, ia mewakili 1.63% daripada jumlah hartanah tidak terjual di negeri Johor.

Sebagaimana ucapan pembentangan Belanjawan Johor 2020 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada Khamis yang lepas, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menurunkan harga minima perolehan kepentingan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.00 sebagai salah satu insentif bersifat kempen untuk tempoh tertentu bagi mengurangkan jumlah lambakan hartanah tidak terjual di negeri Johor. Saya sebut tadi, adalah menurunkan harga minima pemilikan kepentingan asing bukannya menurunkan harga hartanah daripada RM1 juta kepada RM600,000.00, sebagaimana yang ditularkan dalam media sosial baru-baru ini.

Kerajaan sedar bahawa pada asasnya isu lambakan ini bukanlah merupakan urusan kerajaan negeri ianya hasil daripada mismatch dengan izin, antara pembangunan yang dibina oleh pihak pemaju dengan permintaan yang terdapat di dalam pasaran. Dan, kerajaan negeri tidak bercadang untuk menghantar satu signal yang salah kepada pihak pemaju iaitu untuk terus membina rumah yang mahal ataupun high end properties dengan izin, dan bila mana berlaku lambakan kerajaan akan melakukan proses bill out.

Speaker

Masa dah 5 minit, Yang Berhormat, ringkaskan.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia · Kota Iskandar

Saya tak tahu nak ringkas macam mana. Oleh itu, keputusan kerajaan mewujudkan insentif ini adalah dengan syarat-syarat yang ketat.

Pertama, insentif bersifat kempen ini hanyalah melibatkan hartanah berstrata sahaja tidak termasuk hartanah bertanah ataupun landed properties dengan izin.

Yang kedua, insentif bersifat kempen ini melibatkan 2 jenis hartanah iaitu hartanah kediaman dan juga hartanah perniagaan. Kalau di peringkat kerajaan pusat ianya hanya melibatkan hartanah kediaman iaitu pangsapuri dan kondominium sahaja. Tetapi kita di Johor, lambakan yang besar adalah kepada pangsapuri perkhidmatan di bawah kategori perniagaan iaitu sebagaimana saya sebutkan tadi 28,586.

Syarat yang ketiga, insentif ini hanya melibatkan pembangunan yang siap dibina dan Sijil CCC ataupun Sijil Siap dan Pematuhan telah dikeluarkan melebihi daripada 9 bulan iaitu selari dengan definisi overhand ataupun hartanah tidak terjual yang dikeluarkan oleh NAPIC. Syarat yang ketiga ini boleh menghilangkan kebimbangan kerana adanya kewujudan kebimbangan bahawa hartanah yang berharga RM500,000.00 sebagai contoh akan dinaikkan harga kepada RM600,000.00 bagi membolehkan warga asing memilikinya. Tetapi dalam insentif ini ianya tidak akan berlaku kerana sebagaimana saya sebut, hartanah yang diambil dikira dalam insentif ini hanyalah yang telah siap dan Sijil CCC telah dikeluarkan melebihi daripada 9 bulan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kadar levi pemilikan warga asing dalam pakej ini juga dinaikkan daripada 2% ataupun RM20,000.00 yang mana lebih tinggi kepada 5% ataupun RM30,000.00 yang mana lebih tinggi. Yang seterusnya, insentif ini juga dapat menggalakkan hartanah yang telah siap, yang telah berada di pasaran daripada terdedah kepada kerosakan akibat daripada aktiviti vandalisme. Dan, kempen ini adalah berkuat kuasa daripada 1 Januari 2020 sehinggalah 30 September 2020 dan selepas daripada tempoh tersebut ianya kembali kepada polisi dan dasar yang asal iaitu pemilikan warga asing mestilah merupakan hartanah yang melebihi daripada RM1 juta.

Kesimpulannya, suka saya menegaskan bahawa daripada syarat-syarat yang disebutkan tadi, pangsapuri kondominium iaitu kategori kediaman yang terlibat hanyalah 1,119 unit sahaja dengan nilai RM822 juta yang mewakili 2.4% sahaja di lambakan hartanah tidak terjual. Manakala kategori commercial ataupun perniagaan dengan izin, yang terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan ataupun service apartment dan juga SOHO adalah mewakili 5,814 dan juga 117 unit. Dengan erti kata lain bahawa sebahagian besar apa yang kita tawarkan penurunan harga minima pemilikan kepentingan asing adalah merujuk kepada hartanah bersifat komersial iaitu pangsapuri perkhidmatan berbanding dengan hartanah itu sendiri. Dan, yang penting yang kita tawarkan dalam insentif bersifat kempen ini adalah jenis berstrata bukannya merupakan landed dengan izin, yang bertanah. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Ok, Skudai.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Terima kasih kepada Tuan Speaker dan terima kasih kepada EXCO atas penjelasan yang begitu terperinci.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan menetapkan harga minima yang boleh dibeli oleh warga asing adalah untuk mengurangkan ataupun menghilangkan persaingan warga asing dengan orang tempatan supaya harga hartanah dapat dikawal. Jadi, sekiranya kita rendahkan, kita turunkan harga minima ini daripada RM1 juta kepada RM600,000.00, apakah impak ataupun kesan yang akan diberikan kepada pembeli-pembeli tempatan?

Speaker

Jemput, Yang Berhormat.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia · Kota Iskandar

Terima kasih kepada Skudai di atas soalan tambahan. Sebagaimana yang saya sebut tadi, tidak akan berlaku persaingan dengan pembeli daripada tempatan kerana sebagaimana saya sebut tadi, bahawa yang kita tawarkan ialah insentif bersifat kempen ini adalah hartanah berstrata yang telah siap dan CCCnya telah dikeluarkan 9 bulan ke atas, kemungkinan lebih daripada tempoh tersebut jika penjualan dibuat dalam peringkat pembinaan. Makna dia hartanah itu telah ditawarkan dalam satu jangka masa yang lama, tidak ada permintaan daripada tempatan, maka tidak ada berlaku persaingan dari segi harga tersebut. Tinggal lagi apa yang disebutkan tadi dari segi impak iaitu pertamanya, sebagaimana saya sebut tadi, kita telah meningkatkan levi pemilikan warga asing daripada 2% ataupun RM20,000.00 yang mana lebih tinggi kepada 5% ataupun RM30,000.00.

Yang keduanya, kita kena tahu daripada segi ekonomi, sekiranya jumlah wang ini, yang tadi RM30 bilion, kita boleh cairkan 1/3 ataupun RM10 bilion yang saya sebut tadi, kita just imagined, bahawa duit ini akan berlegar dalam sistem ekonomi kita, mempunyai rangkaian, kesannya dan juga dan akan mewujudkan peluang pekerjaan.

Yang ketiga, pihak pemaju perumahan ini juga adalah merupakan smart partner dengan izin, kepada kerajaan. Dalam keadaan ekonomi biasa kita minta mereka membina 40% daripada unit-unit perumahan yang dibina merupakan Rumah Mampu Biaya pada harga yang kita kawal dan sudah barang tentu dan keadaan ekonomi yang tidak sihat sekarang ini, paling tidaknya kerajaan boleh membantu tetapi tidak sehingga kita menghantar satu signal yang tidak betul kepada pihak pemaju perumahan yang saya sebut tadi, mereka boleh sahaja membina rumah high end mampu mereka dan kita akan bill out itu tidak akan berlaku. Insya-Allah terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya, bagaimana kita boleh memastikan tiada persaingan dari segi dana sistem perbankan. Maksudnya, kalau pembeli asing bolehkah kita mensyaratkan mereka kalau mereka membeli rumah di sini, mensyaratkan mereka bawa dana yang baru dari luar negeri. Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia · Kota Iskandar

Terima kasih di atas soalan tambahan. Yang Berhormat Tuan Speaker, ada pun tentang apa yang dibangkitkan soalan tambahan tersebut adalah merujuk kepada polisi kewangan setiap negara dan ianya sebagaimana yang kita ketahui di peringkat negeri China yang berlaku pada tahun lepas mereka menghalang dana daripada tempatan di bawa ke luar negara untuk membeli hartanah di luar negara. Dan, ini juga merupakan sesuatu polisi yang perlu diperhalusi daripada setiap negara dengan negara yang lain tetapi secara umumnya ia akan membawa kelebihan sama ada dana daripada luar negara mahupun daripada dalam negara. Sekian terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Larkin, jemput.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Terima kasih Yang Berhormat Speaker, soalan saya soalan nombor 8.

Gejala eksploitasi kanak-kanak sebagai penjaja jalanan yang berkeliaran di tempat terbuka seperti di medan-medan niaga tanpa mengira masa semakin berleluasa dan membimbangkan, apakah pendekatan atau tindakan kerajaan bagi menangani isu ini?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Johor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih juga Yang Berhormat Larkin. Kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan bagi menangani eksploitasi kanak-kanak sebagai penjaja jalanan di negeri Johor. Langkah-langkah berikut telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor termasuk Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah iaitu pertama, melaksanakan operasi pengemis dan kanak-kanak jalanan dari Januari 2019 hingga Oktober 2019, sebanyak 36 operasi telah dijalankan.

Hasil daripada operasi yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2019, kanak-kanak warganegara yang telah diselamatkan adalah seramai 17 orang manakala kanak-kanak bukan warganegara adalah sebanyak, seramai hanya 1 orang sahaja.

Kedua, iaitu menyelesaikan aduan berkaitan dengan kanak-kanak yang terlibat dalam pengemisan dengan menyelamatkan mereka. Mengikut statistik talian kasih dari Januari hingga ke November 2019, aduan yang berkaitan dengan kanak-kanak yang diterima adalah 63 kes aduan dan 4 kes daripadanya melibatkan kanak-kanak meminta sedekah dan menjual barangan di jalanan.

Ketiga, memberi khidmat nasihat dan kaunseling kepada semua kanak-kanak dan keluarga dan kanak-kanak yang telah diselamatkan dan kemudian pihak kerajaan turut mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut Seksyen 17(1)(K) Akta Kanak-Kanak 2001.

Speaker

Ya, Larkin, jemput, soalan tambahan.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan saya, jika tindakan undang-undang diambil dengan mengguna pakai peruntukan undang-undang yang sedia ada terhadap ibu bapa yang mengeksploitasikan kanak-kanak, bagaimana pula dengan ibu kanak-kanak yang terbiar yang tidak ada tempat bergantung dan perlindungan? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Johor Jaya

Terima kasih YB. Bagi kanak-kanak yang terbiar mengikut Seksyen ... seperti

apa yang saya katakan tadi, mengikut Seksyen 17(1)(K) Akta Kanak-Kanak 2001, pengertian kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen ini bermaksud kanak-kanak itu dibenarkan berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud: 1. Mengemis atau menerima sedekah sama ada atau tidak dengan dalih menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk jualan; atau

2. Menjalankan penjajaan yang menyalahi undang-undang, loteri haram, perjudian atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu.

Dengan ini, bagi kanak-kanak yang tidak ada ibu bapa, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan tempatkan kanak-kanak tersebut untuk tempoh sementara iaitu satu bulan di tempat selamat iaitu rumah kanak-kanak. Dalam tempoh siasatan satu bulan tersebut, JKM akan kenal pasti sama ada ibu bapa, keluarga, saudara mara yang boleh menjaga kanak-kanak tersebut. Sekiranya tidak bersama dengan ibu bapa, kanak-kanak akan dikembalikan kepada ibu bapa dengan amaran khidmat nasihat kaunseling dan sebagainya. Sekiranya ibu bapa tidak mampu beri jagaan, barulah kanak-kanak tu dibantu menempatkan di rumah kanak-kanak. Pada masa yang sama, bagi ibu bapa pula, hukuman dan pendera adalah bermaksud penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedah kanak-kanak tersebut dan ibu bapa boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak lebih dua puluh tahun atau kedua-duanya. Dan CSO mandatori iaitu perintah khidmat masyarakat. Sekian.

Speaker

Seterusnya Yang Berhormat Machap jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 9.

Apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan rakyatnya mengamalkan gaya hidup sihat.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan · Semerah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan. Jabatan Kesihatan Negeri Johor sentiasa memastikan orang awam mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti promosi dan pemerkasaan gaya hidup sihat iaitu konspen komuniti kepada orang awam, konspen plus kepada pekerja di agensi-agensi kerajaan atau swasta dan konspen aktif kepada kakitangan di fasiliti kesihatan. Konspen ini menerapkan aspek asas iaitu satu keluarga satu NCD kit yang merangkumi: 1. Pemeriksaan dan pemeriksaan asas kesihatan kendiri iaitu ketahui nombor-nombor penting dan apakah status anda;

2. Intervensi tingkah laku ke arah gaya hidup sihat, aktiviti fizikal, senaman berkala, 10,000 langkah dan sebagainya;

3. Pemakanan, kiraan kalori, kandungan garam, gula dan lemak contoh menu atau masakan sihat dan seterusnya terapi minda, kenali 10B teknik relaksasi, tangani tekanan di tempat kerja. Pemakanan seimbang merupakan antara komponen paling penting ditekankan dalam amalan gaya hidup sihat. Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menjalankan promosi

pemakanan sihat seperti Kempen Pinggan Sihat, Suku-Suku Separuh, Kempen Kurangkan Gula, Garam dan Minyak dalam makanan dan Kempen Tingkatkan Pengambilan Sayur dan Buah. Selain itu, pelbagai aktiviti dan promosi pemakanan sihat turut dijalankan iaitu selari dengan kemajuan teknologi aplikasi mynutridairi2 disediakan dalam bentuk multimedia, media cetak dan mengedar risalah, brochure dan bahan cetak. 1. Klinik-klinik kesihatan menyediakan khidmat nasihat pemakanan melalui sesi rundingan cara pemakanan.

2. Menggunakan platform promosi pemakanan sihat dalam komuniti melalui dapur sihat masyarakat di klinik kesihatan, lokaliti konspen dan konspen plus dan pusat promosi kesihatan di pejabat ataupun di klinik kesihatan.

3. Menjalankan promosi hidangan sihat semasa mesyuarat untuk jabatan dan agensi kerajaan, pinggan sihat, tagging kalori, pengasingan gula serta menyediakan air kosong.

4. Memberi pengiktirafan kepada BeSS iaitu bersih, sihat dan selamat kepada kedai, kantin, premis makanan dan restoran yang memenuhi kriteria piawaian kebersihan, premis dan keselamatan, makanan dan hidangan sihat.

5. Mewujudkan Pusat Maklumat Pemakanan Negeri Johor di Klinik Kesihatan Mahmoodiah untuk memudahkan komuniti dan rakyat Negeri Johor khususnya mengakses maklumat pemakanan sihat. Terima kasih.

Speaker

Ya Machap jemput.

Terima kasih Tuan Speaker. Dalam Bajet 2020, peruntukan sebanyak RM1 juta telah disalurkan untuk Kembara Kesihatan Johor, fokus kepada masyarakat luar bandar terutamanya bagi penjagaan kesihatan dan juga dari segi pembersihan kesihatan. Saya ingin bertanya, apakah langkah yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan ataupun Jabatan Kesihatan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat di kawasan PBT terutamanya bagi terlibat dengan Program Gaya Hidup Sihat ini? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Machap. Selain daripada kempen kesedaran kesihatan ataupun gaya hidup sihat di kawasan luar bandar, Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan juga memastikan bahawa semua pihak PBT memastikan mempunyai taman-taman ataupun tempat-tempat riadah di taman-taman perumahan. Dan saya telah pun berbincang dengan Yang Berhormat EXCO Kerajaan Tempatan, bahawa kita perlu memastikan bahawa setiap taman-taman perumahan baru perlulah diadakan tempat-tempat riadah bagi memastikan masyarakat di kawasan bandar terus mengamalkan gaya hidup sihat. Insya-Allah ianya akan kita teruskan, memastikan semua taman-taman perumahan mempunyai tempat-tempat riadah. Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Puan Zaiton binti Haji IsmailUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 10.

YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengumumkan bahawa RM106 juta bagi membiayai 3 projek pembangunan di Muar iaitu pembangunan Pasar Pt. Jawa, pemecah ombak Seri

Menanti Laut dan pembangunan infrastruktur Sekolah Kebangsaan Pt. Nawi. Mohon berikan pecahan peruntukan.

Speaker

Jemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Alhamdulillah YB Sungai Balang sangat peka terhadap pembangunan di kawasannya. Terima kasih YB.

Pertanyaan YB Sungai Balang adalah pada waktu lawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali telah mengumumkan RM106 juta bagi 3 projek pembangunan di Muar. Sebetulnya bukan hanya 3 namun banyak.

Untuk maklumat YB Sungai Balang, 3 projek pecahan tersebut adalah projek pembinaan Pasar Awam Pt. Jawa, Muar yang bernilai RM4.5 juta, projek ini dalam proses pelantikan perundingan oleh MPMuar. Sungai Balang sahabat kita di sebelah sana.

Projek kedua, projek penambakan pemecahan ombak di Pengkalan Sri Menanti Laut, Muar sebanyak RM1.8 juta, projek ini dalam proses pelantikan perundingan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, juga di DUN Sungai Balang.

Projek ketiga, menyiapkan sebuah stadium mini yang terdiri daripada astaka, padang bola sepak sintetik serta padang serba guna di Sekolah Kebangsaan Kampung Parit Nawi, Muar berjumlah RM4.7 juta juga berada di DUN Sungai Balang. Dan, projek ini dianugerahkan kepada Johor Corporation.

Speaker

Parit Nawi ni sekolah saya Yang Amat Berhormat.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Ok, terima kasih. Terima kasih. Tapi dia berada di DUN Sungai Balang.

Speaker

Sekolah lama saya.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Ok, tak apa. Ok kemudian, pada 20 Oktober 2019, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke Daerah Muar dan telah menimbangkan peruntukan berjumlah RM101.5 juta bagi 6 projek.

1. Projek membina medan selera asam pedas di Pantai Leka dengan kos RM2 juta, berada di DUN Sungai Balang.

2. Projek menaik taraf hakisan pantai di kawasan Pengkalan Sri Menanti Laut, berjumlah RM8 juta, berada di DUN mana? Sungai Balang sebelah sana.

3. Projek menaik taraf dan baik pulih, perparitan dan bangunan sekolah di Sekolah Kebangsaan Parit Nawi berjumlah RM525,000.00 berada di DUN mana, DUN Sungai Balang.

4. Cadangan membina jalan pintas dari Muar Furniture Park ke Batu 11 Jalan Muar - Labis, berada di DUN Bukit Naning dan menghubungkan DUN Bukit Pasir.

5. Projek pelebaran jalan utama dalam kawasan Muar Furniture Park berjumlah RM18 juta.

6. Projek menaik taraf dan pelebaran jalan sedia ada di Muar Furniture Park, Muar – Yong Peng berjumlah RM12.625 juta.

Kerajaan Negeri amat berterima kasih dengan sokongan serta keprihatinan Yang Berhormat Dato’ Seri Mohd. Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang sudi menyelusuri Daerah Muar untuk turun padang mendengar suara rakyat dan seterusnya menyalurkan peruntukan

sewajarnya tanpa melihat ideologi politik. Itulah kelebihan kita. Pembangunan di Negeri Johor berasaskan keperluan rakyat, tidak membeza-bezakan ideologi politik, itulah untungnya jika kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri selari dari segi visi dan misinya dalam membangun Johor yang lebih makmur. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Ya, Sungai Balang jemput.

Puan Zaiton binti Haji IsmailUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat. Banyak tu sebab tanggungjawab. Soalan saya soalan tambahan, bilakah mungkin tadi Yang Amat Berhormat beritahu dalam proses pelantikan dan sebagainya, adakah jangka masa tarikh atau tahun kesemua projek ini dilaksanakan? Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Jawapan saya ringkas sahaja, tak lebih seminit pun. Akan... insya-Allah akan disegerakan. Terima kasih.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat soalan tambahan boleh?

Speaker

Ya boleh. Jemput.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya ringkas sahaja, apa jaminan Kerajaan PH projek-projek yang diumumkan tadi, yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar RM106 tu dalam proses ditimbangkan belum lulus, ada 2,3 aje yang dilantik perunding dalam kuasa Majlis, diberi kuasa kepada Majlis Perbandaran, yang lain tu masih ditimbangkan. Katalah sekarang ni, akan datang, sekarang ni Kerajaan PH tengah bergolak, ramai orang-orang DAP dengan PAN dia tak nak Perdana Menteri Yang Ke-7.

Speaker

Tarik balik Yang Berhormat, PAN tak ada.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Tak, ada sebut, ada disebut...

Speaker

PAN tak ada.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Timbalan Presiden sendiri cakap...

Speaker

PAN tak ada.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Tak, Timbalan Presiden...

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Pertanyaan tak lebih daripada 1 minit. Terima kasih.

Speaker

Saya betulkan semula.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Amat Berhormat tak boleh bercakap, tak boleh sentuh tu (Dewan ketawa). Ok ni ringkas ni, Menteri Ehwal Ekonomi ini dengan presidennya dah bergolak. Apa jaminan kerajaan PH hari ini, projek ni dapat diteruskan.

Speaker

Ok

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Apa jaminan sebab Kerajaan PH dia terkenal dengan U-turn, dia U-turn, memang U-turn, jadi apa jaminan...

Speaker

Ok, Yang Berhormat, 1 minit. 1 minit..

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Amat Berhormat jangan jawab Yang Berhormat. Relak dulu Yang Amat Berhormat. Nanti Yang Amat Berhormat jawab...

Speaker

Ok. Terima kasih.

Yang Berhormat Speaker, pengerusi, ini bukan ceramah politik di sini. Tolong tarik balik.

Speaker

Ok.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Tak, saya baru nak soal.

Ini bukan ceramah politik.

Speaker

Perhatian, perhatian, perhatian. Rengit duduk. Rengit duduk.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Dulu pembangkang kat sini berbaris bercakap, kita tengok jer kat sana...

Speaker

Rengit. Duduk. Rengit.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Ada orang video tu ya. Kalau nak video, saya nak tegaskan Layang-Layang, adakah dia buat rakaman dalam Dewan.

Speaker

Nanti. Rengit duduk dulu.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Belum habis soalan lagi Yang Berhormat.

Speaker

Rengit duduk dulu. Saya dah faham dah soalan tadi.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Eh tak, belum habis ni...

Speaker

Dah, saya dah faham dah. Jaminan tadi kan...

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Apa jaminan, saya habiskan sikit Yang Berhormat. Apa jaminan projek ini dapat dilaksanakan? Kalau PM Ke-8 barukan? Apa jaminan? Sebab, kalau kita tengok sejarah memang ada U-turn cepat dan janji-janji pilihan raya dekat Tanjung Piai ya, jangan lupa, ok ye.

Speaker

Ok, Cuma saya nak betulkan, tadi Rengit sebut PAN. PAN tu tak ada dalam Malaysia, yang ada Parti Amanah Negara, itu kena perhatian sikitlah. Ok Yang Amat Berhormat jemput.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNMenteri Besar · Bukit Kepong

Yang Berhormat Tuan Speaker, alhamdulillah, insya-Allah projek di Tanjung Piai kita akan teruskan. Tapi saya kesianlah, kerana baru menang dia dah amik mileage pulak untuk projek tu. Minta maaf, insya-Allah projek di Tanjung Piai kami akan teruskan dan Insya-Allah projek-projek yang telah saya umumkan kita akan laksanakan. Tidak perlu khuatir, saya rasa kerajaan yang ada pun sekarang kukuh, stabil kerana kita yakin bahawa kerajaan kita lebih telus. (Dewan bertepuk). Tuan-tuan dan puan-puan harus ingat bahawa baru-baru ini saya telah merasmikan interchange bandar Pulai Jaya yang projek tu berjalan selama tak lama 7 tahun aje. Dan, baru kamilah kerajaan Pakatan Harapan yang telah merasmikannya dan telah meneruskan projek itu. Jadi harapan saya, kita semua kena bekerjasama. Tuan dan saya kena bekerjasama untuk memastikan pembangunan di negeri Johor ini dapat terus dilaksanakan. Mudah sahaja, (Bacaan dalam Bahasa Arab) sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Amat Berhormat. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya pun, walaupun saya bukanlah ADUN Kota Iskandar ni, tapi saya juga terima kasihlah kepada Yang Berhormat kerana telah menyelesaikan projek Exit di Kulaijaya ni ya, yang memudahkan penduduk Skudai untuk keluar ke highway. Ok, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Perling.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Yang Berhormat tuan Speaker. Soalan saya soalan 11.

Apakah perancangan kerajaan untuk memastikan Youth Hub Hutan Bandar dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan belia pada masa hadapan?

Speaker

Jemput Yang Berhormat EXCO.

Tuan Haji Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi · Paloh

Bismillahirrahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Perling atas soalan yang diajukan. Youth Hub Hutan Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang sedang dalam fasa terakhir pembinaannya oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah merupakan satu manifestasi agenda pemerkasaan golongan belia dalam bentuk fizikal bagi menzahirkan sense of ownership, dengan izin, di kalangan mereka. Ianya dilaksanakan dengan objektif untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai pemikiran progresif, berdaya maju dan mampu menjadi agen pengubah atau pemimpin agenda sosial ekonomi dan kelestarian di kalangan masyarakat tempatan. Dan, jika kita merujuk semula kepada persoalan yang dinyatakan berkaitan dengan perancangan kerajaan untuk memastikan, Youth Hub Hutan Bandar dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan belia pada masa hadapan. Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa kerajaan negeri telah pun menyatakan komitmen, kerajaan negeri telah pun menyatakan komitmen dari segi kewangan untuk kita mengisi ataupun memasukkan content, dengan izin, dalam pembangunan Youth Hub Hutan Bandar. Dan, untuk makluman juga, pada ketika ini Youth Hub Hutan Bandar ini telah pun berapa pada fasa akhir dan dijangka akan mula beroperasi pada tahun hadapan dan juga sekitar bulan Januari ataupun Februari 2020, ia akan mula dibuka untuk umum. Dan, sekali lagi saya nyatakan di sini bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar pun dalam ucapan Belanjawan 2020, beberapa hari yang lalu telah menyatakan bahawa kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1 juta untuk memasukkan content dan mengambil peluang membangunkan belia-belia di negeri Johor ini dengan pembangunan Youth Hub Hutan Bandar ini. Terima kasih.

Speaker

Perling, jemput.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Terima kasih atas jawapan YB EXCO dan terima kasih kepada komitmen kerajaan negeri Johor kepada Youth Hub Hutan Bandar yang berada dekat kawasan kita. Jadi, saya ingin tahu merujuk kepada Youth Hub ini, bolehkah beri Yang Berhormat Speaker kita nakkan contoh aktiviti atau program yang telah ataupun akan dijalankan di Youth Hub Hutan Bandar ini? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi · Paloh

Yang Berhormat tuan Speaker, bagi menjawab persoalan ini suka untuk saya menarik kembali kepada sejarah progress pembangunan Youth Hub Hutan Bandar ini. Semenjak pembukaan sementara pusat informasi dan galeri hab bagi Youth Hub Hutan Bandar pada Februari 2017 sehinggalah ianya ditutup untuk kerja-kerja pembinaan pada bulan Februari 2018, setahun kemudian sebenarnya telah ada pelbagai program yang telah dijalankan, acara-acara yang dikaitkan dengan belia dan anak-anak muda di sana. Yang pastinya perkara ini dilaksanakan oleh kerajaan yang terdahulu, namun rekodnya jika kita lihat kira-kira 4,500 belia telah terlibat dan mengambil bahagian dalam pelbagai program yang telah dijalankan di Youth Hub Hutan Bandar semenjak Februari 2017 hingga Februari 2018. Kalau boleh saya sentuh, antara program yang telah dijalankan adalah program berkaitan keusahawanan sebagai contoh, independent art market, iaitu kursus asas keusahawanan untuk belia dan juga antara lainnya ialah program-program kesukarelawanan, antaranya adalah Jambori Sukarelawan JDT, Hub Heroes Day, Bengkel Achitecture, Neon dan sebagainya. Yang ketiga adalah gaya hidup sihat antaranya Crust Fest, Teater Juarawara, Taximo anniversary. Dan suka untuk saya nyatakan di sini bahawa

untuk perancangan yang akan datang, di peringkat kerajaan negeri di bawah portfolio Belia dan Sukan, kita mengklusterkan beberapa kluster untuk pembangunan Youth Hub Hutan Bandar ini bagi manfaat belia, antaranya ialah :

1. Kluster belia dan juga kesukanan atau pun gaya hidup sihat. 2. Belia dan kesukarelawanan. 3. Kluster belia dan juga kreativiti atau kebudayaan. 4. Belia dan juga keusahawanan.

Jadi ini adalah 4 elemen yang kita akan cuba terapkan dengan peruntukan yang telah dinyatakan, komitmen kerajaan negeri dalam ucapan Belanjawan 2020 beberapa hari yang lalu. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya. Yang Berhormat Machap, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 12.

Apakah bidang dan bentuk pelaburan baru yang sedang dirancang atau dibuat bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Johor.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Tuan Speaker, sebelum saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat Machap, saya ingin mendapat satu pendirian daripada Tuan Speaker, sama ada dalam Dewan yang mulia, Ahli-Ahli Yang Berhormat dibenarkan untuk membuat rakaman dalam segi foto atau video.

Speaker

Tidak, tidak benar.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Tidak benar ya, sebab tadi saya suspek ada kawan-kawan dari sebelah sana ada membuat rakaman, dan saya harap benda ini tidak akan berulang lagi.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat atas peringatan.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Yang Berhormat tuan speaker, walau pun Johor adalah negeri salah satu negeri yang menyumbang tinggi kepada jumlah pelaburan konvensional di Malaysia terutamanya di sektor pembuatan dan minyak gas dan petrochemical, kami kerajaan negeri Johor juga sentiasa faham sekarang kita telah masuk satu era baru dan era digital. Tentunya kena ada pembaharuan. Kita tidak boleh lagi terus bergantung sepenuhnya kepada rangka ekonomi yang sedia ada ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, maka itu hala tuju pelaburan dan ekonomi negeri Johor adalah berasaskan kepada prinsip baru kerajaan negeri Johor iaitu berasaskan kepada prinsip 3H. Apa itu 3H? 3H adalah high tech, high value dan halal. Contoh dalam sektor high tech yang kita telah membuat kajian di Johor, di negeri Johor kami telah menukar langkah dalam mewujudkan inisiatif seperti block change, teknologi block changevillage di Medini. Inisiatif ini akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 1,200 orang dan mampu menarik pelaburan bernilai RM562 juta menjelang tahun 2020. Untuk mencapai sasaran ini, negeri Johor perlu mempertingkatkan lagi dalam segmen sains, inovasi dan teknologi bagi membolehkan kita terus berada dalam landasan yang tepat. Selain daripada itu, Tuan Speaker, kerajaan negeri Johor telah mengujudkan juga KDEX, atau dikenali sebagai Kulai Iskandar Data Exchange di kawasan Kulai yang bertumpu untuk memajukan ekonomi dalam sektor data centre, cloud, pusat inovasi dan R&D.

Selain daripada itu juga Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri Johor juga akan memberi tumpuan kepada proses e-dagang atau e-commerce dan juga start up mewujudkan lebih banyak incubator. Untuk menyokong usaha-usaha ini, kerajaan negeri Johor telah baru-baru belanjawan tahun depan dan mengumumkan pemberian geran RM1 juta untuk membantu usahawan-usahawan orang Johor dalam sektor start up dan e-dagang. Selain daripada itu, dalam sektor halal pula kini kita bukan masuk sektor halal sahaja, tapi dikenal sebagai era digital halal. Digital halal ini kita akan cuba menumpukan hasrat kita, usaha kita kepada yang prinsip panggil dari farm to fox maknanya ingredient, ingredient bahan makan ataupun pembuatan, akan dapat dikesan dan dikenal pasti melalui teknologi-teknologi digital dari asas ke proses terakhir, inilah kelebihan di Johor di mana dua halal hab di Johor akan memperkenalkan prinsip digital halal ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Machap, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya, tadi telah di sebut tentang untuk peluang membentuk pelaburan yang mengekal kepada 3H. Jadi apakah petunjuk atau penanda aras yang menunjukkan bahawa pelaburan ini, pelabur baru ini memang betul-betul boleh memberikan keuntungan ataupun merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Johor? Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Machap. Seperti yang saya tegaskan, kita ada banyak contoh-contoh. Memang kalau kita sekarang masih bergantung kepada ekonomi pelaburan industri konvensional seperti petrochemical. Tetapi untuk jangka masa panjang memang kita akan mengalih daripada pembuatan kepada service, perkhidmatan. Ini akan mengambil masa, contohnya di KDEX ini, kita jangka dia akan mula beroperasi dalam masa 1, 2 tahun lagi. Untuk block change pulak, kita baru sahaja lancarkan pada bulan lepas, dan dalam masa yang akan datang ini saya cukup yakin lebih banyak syarikat daripada negara lain akan masuk untuk bersama dalam industri block change ini. Sememangnya saya baharu sahaja balik daripada Eropah, dan saya telah melawat salah sebuah kawasan start up yang paling termasyhur di Perancis panggil station F, dan kita telah buat perundingan bersama dengan Khazanah dengan syarikat-syarikat seperti Amazon dan Uger di Station F untuk cuba kita dirikan ekosistem yang sama di Iskandar Malaysia ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum Dewan bersidang ini, saya rujuk nak dapatkan petua dan ruling daripada Yang Berhormat Tuan Speaker, Perkara 45(2) ya. Dia tak boleh disampuk melainkan menyalahi peraturan Mesyuarat. Saya lihat tadi ketika saya berucap ada beberapa orang cakap termasuklah Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga daripada Bukit Batu. Amalan kita dahulu Yang Berhormat, saya dah kat Dewan ni 17 tahun, jarang Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tak pernahlah, dan juga EXCO mencelah ketika Ahli Dewan bercakap. Jadi saya nak dapat ruling baru daripada Tuan Speaker adakah benda ini boleh. Sebab kalau nak rujuk benda ni mesti dirujuk kepada Peraturan. Tidak boleh menyampuk kecuali salah. Tadi saya cakap perkara yang saya cakap tak ada yang salah. Tapi 2, 3 orang termasuk Menteri Besar bercakap, jadi saya nak dapat petua, ruling daripada Tuan Speaker boleh tak Yang Amat Berhormat dan juga EXCO bercakap, kalau yang lain menyampuk boleh. Amalan kita yang lepas tak pernah, ini kali pertama yang di bawah kerajaan baru ini.

Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Peraturan mesyuarat. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenarnya tadi Yang Berhormat EXCO Utiliti dia bukan menyampuk, dia sebenarnya tunjuk ada di kalangan Ahli Dewan telah menyalahi peraturan tetap. Jadi saya rasa perkara itu, masalah itu tak wujud, jadi saya pun tak pasti apa pendirian Yang Berhormat Rengit. Adakah beliau berhasrat untuk membawa Yang Berhormat Layang-Layang untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Kebebasan? Saya rasa itu tidak.

Yang Berhormat tak payahlah, ini bukan menyampuk Yang Berhormat. Dia hanya mohon penjelasan kepada apa yang tertera dalam peraturan Dewan, tak perlu nak ada penjelasan lanjut.

Speaker

Ok saya maklum. Keputusan adalah seperti mana dalam 45(2) tidak boleh disampuk kecuali menyalahi peraturan, itu saja. Ok, di mana kita tadi, saya persilakan Yang Berhormat Layang-Layang.

Datuk Onn Hafiz bin GhazziUMNO · BNLayang-Layang

Yang Berhormat Tuan Speaker soalan nombor 13.

Berapakah kutipan duit zakat Johor 2018 dan 2019 dan bagaimanakah ia dibelanjakan?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat anakanda daripada Layang-Layang. Bagi makluman berapakah kutipan duit zakat Johor bagi tahun 2018 dan 2019 dan bagaimanakah ianya dibelanjakan. Pada tahun 2018 Majlis Agama Islam Negeri Johor telah berhasil membuat pungutan zakat harta dan fitrah bagi seluruh negeri Johor sebanyak RM284,633,256.53 Pecahan pungutan zakat bagi tahun 2018 dan 2019 hingga bulan Oktober adalah seperti berikut:

Jenis zakat pendapatan bagi 2018 RM131,764,270.00, pungutan bagi 2019 berjumlah RM97,420,790.72; bagi zakat wang simpanan 2018 berjumlah RM57,550,094.99, bagi 2019 RM51,475,623.56; bagi zakat perniagaan kutipan 2018 RM77,634,173.61 dan bagi tahun 2019 RM53,972,921.92; bagi zakat emas dan perak pungutan 2018 jumlah RM1,165,844.24, bagi pungutan 2019 sejumlah RM878,939.54; bagi zakat tanaman 2018 berjumlah RM157,162.01, bagi 2019 berjumlah RM99,485.40; bagi zakat ternakan sejumlah RM246,808.88, bagi zakat 2019 berjumlah RM211,052.52, bagi zakat galian 2018 berjumlah RM9,264.30, bagi tahun 2019 RM6,619.00; bagi zakat saham 2018 berjumlah RM975,529.60, bagi tahun 2019 RM968,035.07; bagi zakat KWSP pada tahun 2018 sejumlah RM66,172.00, bagi tahun 2019 RM109,574.00; bagi zakat fitrah bagi tahun 2018 sejumlah RM15,063,937.00, bagi tahun 2019 sejumlah RM18,082,139.00; Jumlah sebenar bagi tahun 2018 RM284,633,250.53. Bagi tahun 2019 RM223,225,180.73 sehingga Oktober pada tahun ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih.

Speaker

Bagaimana yang dibelanjakan?

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar · Bukit Permai

Bagi agihan zakat pula perbelanjaan 2018 sebanyak RM261,310,155.66 telah diagihkan kepada asnaf yang berkelayakan, manakala bagi agihan bagi tahun 2019 hingga bulan Oktober ialah sebanyak RM224,300,430.84. Pecahan perbelanjaan wang zakat bagi 2018 dan 2019 sehingga Oktober adalah seperti berikut:

Bagi asnaf agihan 2018 dan juga 2019 mengikut asnaf fakir sebanyak RM55,880,966.77, bagi tahun 2019 RM46,297,378.22; bagi asnaf miskin RM95,621,740.80, bagi tahun 2019 sebanyak RM78,998,632.40; bagi amil RM25,914,066.00, bagi tahun 2019 sejumlah RM22,674,913.80; bagi mualaf pula 2018 sejumlah RM18,322,273.89, bagi tahun 2019 RM19,607,309.90; bagi Gharim sebanyak RM1,714,112.02, bagi tahun 2019 RM589,565.63; bagi Ibnu Sabil pula 2018 sejumlah RM508,109.30, bagi tahun 2019 sejumlah RM345,920.00; bagi Fi Sabilillah sejumlah RM63,348,886.88, bagi tahun 2019 sejumlah RM55,489,693.89; Jumlah bagi tahun 2018 yang telah diagihkan dibelanjakan sejumlah RM261,310,155.66, bagi tahun 2019 sehingga setakat Oktober sejumlah RM224,003,413.84.

Sekian, Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Ya jemput Layang-Layang.

Datuk Onn Hafiz bin GhazziUMNO · BNLayang-Layang

Terima kasih Yang Berhormat ayahanda EXCO atas jawapan yang sangat terperinci itu tadi. Yang Berhormat EXCO setiap kali kita turun padang menziarahi mereka yang susah, alhamdulillah ramai yang menerima bantuan daripada Baitulmal untuk golongan asnaf terutamanya. Tetapi ramai juga yang bila kita turun tak dapat bantuan daripada Baitulmal atas syarat-syarat dan prosedur-prosedur tertentu. Sebagai contoh bila pegawai-pegawai datang ke rumah dia tengok ada kereta, dia tengok ada rumah dia cantik, rumahnya cantik dan sebagainya dia tak dapat. Tapi pada hal dia dapat penyakit kritikal itu selepas dia beli barang-barang itu sebelum dia dapat penyakit kritikal tersebut.

Speaker

Soalannya?

Datuk Onn Hafiz bin GhazziUMNO · BNLayang-Layang

Jadi soalannya, boleh tak pihak kerajaan lihat kembali dari segi SOP segi prosedur dan kelonggaran apabila nak meluluskan bantuan untuk golongan-golongan ini? Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat EXCO.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar · Bukit Permai

Terima kasih anakanda Layang-Layang. Bagi keperluan ini kalau mengikut takrif kita bagi asnaf umpamanya takrif fakir. Seseorang yang tidak mempunyai harta dan hasil usaha iaitu pekerjaan yang boleh memenuhi keperluan asas iaitu darurat bagi dirinya dan tanggungjawab di bawahannya termasuk juga mereka yang tidak ada daya usaha dengan sebab seperti berpenyakit seperti yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat Layang-Layang tadi. Dan jika perempuan tidak mempunyai suami, bapa dan datuk ke atas atau anak dan cucu ke bawah yang wajib memberi nafkah kepadanya dari segi hukum syarak serta tidak mempunyai makanan yang mencukupi, pakaian, tempat tinggal bagi dirinya dan tanggungan di bawahnya.

Sebagai contoh seseorang yang memerlukan kepada RM300.00 sebulan tetapi hanya mempunyai tidak sampai 50% keperluan tersebut untuk menampung keperluan asasi diri dan tanggung jawab di bawahnya. Bagi takrif miskin pula Yang Berhormat Tuan Speaker, seorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasi iaitu duriat tetapi tidak mencukupi untuk dirinya dan orang di bawah tanggungannya. Sebagai contoh, seseorang yang memerlukan kepada RM300.00 sebulan tetapi hanya mempunyai sebahagian ataupun 50% atau lebih tetapi tidak sampai memenuhi keperluan asasi sebenar bagi diri dan tanggungjawabnya perlu juga diberi tanggungan dan juga pertimbangan.

Untuk ini saya memberi jaminan kepada Dewan yang mulia ini dan juga kepada anakanda Layang-Layang dan juga kepada mana-mana Ahli Dewan jika ada keperluan bantuan asnaf fikir miskin yang kurang mendapat perhatian di peringkat jabatan saya sila maklumkan terus kepada saya, insya-Allah saya akan mengambil tindakan dengan segera. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Sedili, jemput.

Terima kasih Yang Berhormat, soalan tambahan saya. Berapakah jumlah simpanan tetap lebihan wang zakat yang telah dibelanjakan? Terima kasih.

Speaker

Makin serak suara Yang Berhormat ni, jemput, jemput YB EXCO.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar · Bukit Permai

Yang Berhormat Tuan Speaker, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor belum dapat menetapkan sehingga tamat pada 31 Disember ini dan insya-Allah selesai daripada kiraan hasil pungutan pada 31 Disember ini saya akan memaklumkan terus kepada Ahli Yang Berhormat daripada Sedili tentang jumlah keseluruhan perbelanjaan dan lebihan perbelanjaan sehingga tamat 31 Disember 2019. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Yang Berhormat Tangkak jemput.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Yang Berhormat Tuan Speaker soalan saya nombor 14.

Apakah peranan dan matlamat Majlis Rendah Karbon Negeri Johor yang ditubuhkan baru-baru ini?

Speaker

Jemput.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar · Jementah

Salam sejahtera, Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Tangkak.

Speaker

Bukit Permai tolong off.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar · Jementah

Yang memajukan soalan tersebut berkenaan Majlis Rendah Karbon Negeri Johor. Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri Johor komited dalam memenuhi dan mencapai setiap matlamat yang disasarkan di dalam matlamat pembangunan mampan Sustainable Development Goals 2030 seperti yang telah diumumkan oleh United Nation dengan izinya, di mana diadakan dalam SDGs ini matlamatnya ada 17 dan salah satu matlamat yang utama ialah macam mana kita nak menangani perubahan iklim iaitu pada matlamat yang ke-13, climate action.

Justeru itu, antara langkah terawal bagi kerajaan negeri Johor untuk menjayakannya adalah melalui penubuhan Majlis Rendah Karbon Negeri Johor, yang telah ditubuhkan dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor pada 29 Mei yang lalu di mana ia akan bertindak sebagai satu agensi penasihat kepada kerajaan negeri Johor berhubung hala tuju kebersaingan dan produktiviti dalam pembentukan masyarakat rendah karbon di negeri Johor.

Peranan selanjutnya adalah melalui penyelarasan dan pemantauan sebarang program berkenaan dengan penggalakan pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan pembudayaan rendah karbon dalam kalangan masyarakat. Majlis ini dipengerusikan oleh saya dan sekretariatnya bersama adalah daripada pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), PlanMalaysia Johor dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).

Majlis rendah karbon juga memainkan peranan sebagai satu pusat sehenti (one stop centre), dengan izin, bagi menyelaras dan memacu program-program inisiatif rendah karbon, selain dari menjadi platform perbincangan, penyelesaian masalah, pendanaan, pembangunan dan pelaksanaan projek rendah karbon, industri penghijauan dan industri tanpa karbon serta tenaga boleh diperbaharui.

Dalam memperhebatkan pembudayaan dan penerapan karbon rendah, Majlis Rendah Karbon Negeri Johor juga akan melaksanakan sesi perbincangan dan taklimat libat urus melibatkan masyarakat akar umbi, ahli-ahli akademik, warga-warga pendidik, para usahawan, pemain industri dan rakan-rakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas tentang agenda rendah karbon di negeri Johor.

Justeru itu, Kerajaan Negeri Johor berharapan besar agar inisiatif rendah karbon yang kini giat tertumpu di Wilayah Iskandar Malaysia dapat diperluaskan ke seluruh negeri Johor dengan penglibatan daripada pelbagai pihak termasuk agensi awam, Pihak Berkuasa Tempatan, firma swasta dan gerakan masyarakat akar umbi secara amnya. Sekian, terima kasih.

Speaker

Tangkak, jemput soalan tambahan.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan. Tahniah kepada kerajaan negeri Johor kerana akhirnya berjaya menubuhkan Majlis Rendah Karbon Negeri Johor pada 6 bulan yang lalu dan daripada jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat EXCO tadi, antara 16 Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Johor, cuma ada 5 PBT sahaja di bawah Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (IRDA) yang telah menyertai dalam tindakan rendah karbon, masyarakat rendah karbon ini. Dan, saya ingin tanya apakah inisiatif-inisiatif yang akan ataupun telah dilakukan oleh Majlis Rendah Karbon Negeri Johor ini? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar · Jementah

Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Sepanjang tahun 2019, inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan di bawah Majlis ini adalah sebagaimana berikut:

1. Di bawah ramuan daripada IRDA, 1 Green Accord Initiative Award (GAIA) telah diadakan di mana ia merupakan satu pengiktirafan ke atas bangunan hijau untuk menggalakkan organisasi dan syarikat ke arah pembangunan mampan dan penjimatan tenaga. Inisiatif GAIA telah dijalankan di Wilayah Iskandar Malaysia dan perlu diperluaskan skopnya di semua Pihak Berkuasa Tempatan.

2. Building Energy Monitoring and Reporting System (BEMRS) di mana ia merupakan satu sistem yang bertindak untuk memantau penjimatan tenaga di sesuatu bangunan.

3. Comprehensive Assessment System for Built Environment Efficiency atau dengan short termnya CASBEE juga, akan dilaksanakan di negeri Johor khususnya di kawasan zon Iskandar. CASBEE adalah merupakan satu rangka kerja penilaian kecekapan yang direkabentuk berdasarkan konsep kecekapan eko dan boleh menilai prestasi mesra alam sesuatu bangunan. Dicadangkan dengan penubuhan dengan Pusat CASBEE yang akan memainkan peranan dalam mempromosikan dan menyelaraskan untuk menjalankan aktiviti dalam pembangunan hijau, penilaian projek dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

4. Iskandar Malaysia Ecolive Challenge (IMELC) di mana ia merupakan satu aktiviti pembelajaran murid-murid sekolah yang berkaitan agenda rendah karbon. Kita berpendapat bahawa kita perlu apa ni... memupuk pelajar-pelajar sejak dari awal persekolahan mereka, maka program ini saya telah dihalakan di peringkat zon Iskandar dan ia akan diperluaskan lagi ke PBT-PBT yang lain.

Selain daripada itu, pihak...

Speaker

2 minit dah habis Yang Berhormat. 2 minit dah habis dah.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar · Jementah

Pihak Kerajaan...

Speaker

Ringkaskan.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar · Jementah

Pihak kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk kemungkinan kita akan

melaksanakan UBBL 38A Pindaan 2012 di mana bangunan yang dibina kelak akan lebih apa ni... mempunyai isi-isi kandungan yang berkaitan dengan pembangunan hijau, di mana ia akan mengurangkan penggunaan tenaga yang akan melepaskan lebih banyak lagi apa ni karbon di udara kita. So kita sedang mengkaji untuk sama adakah kita boleh menyelaraskan pelaksanaan UBBL 38A ini di negeri Johor? Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya Skudai jemput.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan terima kasih atas jawapan Yang Berhormat EXCO tadi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, antara matlamat penubuhan Majlis Rendah Karbon ini adalah untuk menggerakkan lebih banyak dan memperluaskan lebih banyak inisiatif rendah karbon yang sebelum ini berada di IRDA, di kawasan IRDA, di kawasan Iskandar Malaysia untuk diadaptasi oleh PBT-PBT yang lain. Antara usaha-usaha yang boleh kita apa tu... kita kata boleh dilaksanakan termasuk CASBEE dan GAIA yang apa tu, yang disebut oleh Yang Berhormat EXCO tadi. Bagaimanapun ada juga rancangan-rancangan yang sebelum ini dirancang tetapi saya lihat sampai hari ni belum lagi dilaksanakan ataupun belum lagi ada plan atau roadmap yang jelas, antaranya adalah caj pencemaran ataupun caj bayaran RM0.20 ke atas plastik beg, guna... pakai buang tu, di mana perkara...

Speaker

Soalan, soalannya?

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

... perkara ini telah dirancang sejak bulan September tahun lepas. Tapi sampai hari ni, belum dilaksanakan. Saya lihat perkara ini adalah satu kerugian kepada kerajaan sebab bukan sahaja inisiatif-inisiatif ini dapat mengurangkan karbon di negeri Johor, malah dia dapat menambahkan lagi...

Speaker

Soalan, soalan dia...

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

... malah dia dapat menambahkan lagi hasil negeri.

Speaker

Soalan dia?

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Jadi soalan saya, Majlis Rendah Karbon ini sebenarnya boleh menerokai hasil-hasil baru untuk kerajaan. Bagaimanapun pelaksanaannya agak lambat. Jadi, saya nak kerajaan bagi tau apakah roadmap pelaksanaan, seperti caj pencemaran ini dan ...

Speaker

Ok.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

... dan 2, perdagangan karbon ataupun dengan izin carbon trading.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar · Jementah

Terima kasih Yang Berhormat daripada Skudai. Terima kasih atas pandangan dan juga pendapat yang telah dikatakan tadi ini. Kerajaan negeri mengambil maklum untuk caj pencemaran ke atas plastik guna sekali ini. Kerajaan negeri sedang mengambil langkah untuk apa ni... macam mana kita nak melaksanakan caj pencemaran ini? Dan, saya akan ada satu lawatan ke negeri Pulau Pinang pada awal Disember yang akan datang ni, bersama-sama dengan Ahli-Ahli Majlis dalam apa ni... rendah karbon negeri Johor ke Pulau Pinang. Adakan lawatan ke Pulau Pinang untuk kita, macam mana kita belajar atau kita buat bench marking daripada kerajaan Pulau Pinang di mana mereka telah melaksanakan caj pencemaran sejak awal tahun beberapa tahun yang lalu. Kita kena perlu mengkaji mekanisme dan kaedah pelaksanaannya di negeri Johor. Dan, kita... saya akan apa ni, update maklumat ini dari semasa ke semasa dan kalau kita mengikut roadmap yang

dikatakan tadi ini, sebenarnya pihak Kementerian Persekutuan sudah ada satu roadmap di bawah apa ni MESTECC. Di mana roadmap ni dipecahkan kepada 3 fasa. Fasa yang pertama daripada 2018 hingga 2021. Di mana salah satu matlamat ialah mengenakan caj pencemaran ke atas apa ni, single u-plastic. Dan bagi kerajaan negeri Johor, kita memang berhasrat kita dapat melaksanakan caj pencemaran ini sebelum tahun 2022. Bermaksud kita masih ada masa lagi untuk kita apa ni, melaksanakan caj pencemaran di negeri Johor mengikut roadmap yang telah digariskan oleh pihak MESTECC.

Speaker

Ok, terima kasih.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar · Jementah

Yang kedua, berkenaan dengan...

Speaker

Masa tamat Yang Berhormat.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar · Jementah

Satu lagi berkenaan isu, itu very important, cukai karbon atau carbon trading seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat Skudai ini. Berkenaan dengan cukai ini, sebenarnya jurisdiction dia, bidang kuasanya adalah di peringkat kerajaan persekutuan. Tetapi walau bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan yang lebih teliti lagi dengan kerajaan pusat, macam mana Kerajaan Negeri kalau ingin melaksanakan cukai trading atau cukai offset ini, macam mana kita melakukan di Negeri Johor, bagi... adakah kita ada jurisdiction atau kita boleh mengadakan apa ni, kaedah yang berlainan supaya dia boleh dilaksanakan di negeri Johor. Dan, salah satu lagi yang penting ialah sama adakah kita ada data inventori untuk karbon? Dan sehingga kini kita belum ada lagi di negeri Johor. Tetapi walau bagaimanapun kita akan berusaha ke arah ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya Yang Berhormat Stulang, jemput.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 15.

Apakah status terkini “culvert” yang berada di bawah Tambak Johor untuk menjadi laluan air dari kedua-dua belah Tambak Johor?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mohd Solihan bin BadriBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Tenang

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Stulang, untuk maklumat Ahli Yang Berhormat pihak Plus Berhad bertanggungjawab menyelenggara turapan dan perabot jalan bagi medium term link, Bangunan Sultan Iskandar dan Tambak Johor yang bermula dari kilometer 0 sehingga kilometer 0.7. Terdapat 2 buah pembetung yang melintasi di bawah Tambak Johor yang bersaiz 1.8 meter garis pusat, di kilometer 0.3 dan kilometer 0.35 yang di selenggara oleh pihak Plus dalam keadaan baik. Kerja-kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan secara berkala setiap 3 bulan. Pihak Plus sentiasa memantau keadaan pembetung-pembetung tersebut agar tidak tersumbat dan memastikan kelancaran air secara berterusan dari semasa ke semasa. Terima kasih.

Speaker

Stulang jemput soalan tambahan.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih YB EXCO. Dan saya juga difahamkan ada culvert yang terkambus. Selain daripada 2 buah culvert tersebut, saya difahamkan ada culvert yang terkambus oleh projek tambakan laut. Dan apakah tindakan kerajaan negeri untuk memulihkannya? Maksudnya untuk membuka balik culvert tersebut, maksudnya bukan setakat kita ada 2 buah, kalau kita ada lebih, so kita kena buka semua. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mohd Solihan bin BadriBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Tenang

Isu culvert ini walaupun kecil tapi dia menarik perhatian ramai termasuk penggiat ataupun prihatin alam sekitar kerana culvert ini adalah menjadi laluan untuk air dari kedua-dua belah mengalir. Memang ada sekurang-kurangnya 4 culvert yang telah terkambus oleh projek pembinaan hostel pekerja. Pihak kerajaan negeri akan membincangkan perkara ini dengan pihak-pihak yang berkenaan. Dan selain dari itu, kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Bajet yang dibaca baru-baru ini bahawa kerajaan negeri akan memohon peruntukan dari kerajaan persekutuan bagi peruntukan membesarkan culvert yang sedia ada. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput seterusnya daripada Perling.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan 16.

Apakah asas penilaian yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk menilai keberkesanan aktiviti-aktiviti perpaduan yang dijalankan oleh KRT di negeri Johor?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna · Bekok

Terima kasih Tuan Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Perling. Rukun Tetangga adalah merupakan organisasi sukarela yang ditubuhkan oleh Kerajaan sejak tahun 1975 di bawah Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga 1975. Selepas Ordinan Darurat dimansuhkan pada tahun 2011, maka Akta Rukun Tetangga 2012 telah diperkenalkan sebagai asas pentadbiran dan pengoperasian Rukun Tetangga. Rukun Tetangga berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan dan juga sebagai agen perpaduan di peringkat akar umbi. Bagi menilai keberkesanan dan impak aktiviti Rukun Tetangga, terdapat empat asas penilaian yang digunakan oleh Jabatan Perpaduan.

1. Melalui Mesyuarat JPKRT perlu diadakan sekurang-kurangnya empat kali setahun dan menjadi platform utama bagi membincangkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti, menilai keaktifan Rukun Tetangga serta membincangkan isu-isu kesejahteraan komuniti yang perlu diselaras dan diselesaikan.

2. Setiap Rukun Tetangga adalah bertanggungjawab melaporkan setiap aktiviti, mesyuarat dan juga kewangan ke dalam Sistem Keaktifan eRT. Sistem ini dipantau oleh jabatan dari semasa ke semasa, laporan keaktifan Rukun Tetangga melalui sistem akan dijana pada 31 Disember setiap tahun. Laporan keaktifan eRT menjadi antara kriteria utama bagi pemberian geran tahunan kepada Rukun Tetangga.

3. Naziran Rukun Tetangga. Bagi meningkatkan lagi penilaian asas keberkesanan Rukun Tetangga, mulai tahun 2018 Jabatan telah melaksanakan naziran Rukun Tetangga di setiap daerah berdasarkan empat kriteria iaitu, pengurusan dan pentadbiran Rukun Tetangga, pengurusan kewangan Rukun Tetangga, keaktifan Rukun Tetangga dan impak keberkesanan program.

4. Penarafan bintang (Star Rating) Rukun Tetangga. Penarafan bintang dimulakan oleh Jabatan mulai tahun 2019 di mana kriteria penarafan bintang ini telah dibangunkan dengan kerjasama UTM Skudai. Penarafan bintang ini bertujuan untuk membangunkan RT Lestari yang menjalankan aktiviti perpaduan dan kesejahteraan sosial yang mampan dan berimpak tinggi dan positif kepada komuniti.

Selain daripada itu, ada 10 lagi program pemerkasaan untuk memperkasakan Rukun Tetangga iaitu:

1. Meningkatkan kecemerlangan kepimpinan Jawatankuasa Rukun Tetangga.

2. Meningkatkan kecekapan tadbir urus Rukun Tetangga. 3. Penyediaan Pelan Tindakan Kejiranan Rukun Tetangga. 4. Meningkatkan keupayaan Rukun Tetangga dalam aspek pengurusan konflik dan mediasi komuniti. 5. Memperbanyakkan program pendidikan perpaduan kepada masyarakat. 6. Pembangunan Jiran Muda melalui Pelan Transformasi Jiran Muda. 7. Meningkatkan program pembangunan ekonomi komuniti. 8. Memperkukuhkan peranan biro-biro dalam Rukun Tetangga. 9. Penarafan bintang. 10. Pengiktirafan Rukun Tetangga melalui Anugerah Kecemerlangan Rukun Tetangga.

Di samping itu, jabatan juga telah menetapkan 10 kriteria utama dalam aktiviti Rukun Tetangga iaitu:

1. Tetap kepada kumpulan sasar. 2. Berinformasi. 3. Berjangka masa. 4. Kreatif dan inovatif. 5. Kos rendah impak tinggi. 6. Mempunyai nilai tambah. 7. Value for money, dengan izin. 8. Penglibatan pelbagai kaum. 9. Memberi sentuhan kepada komuniti. 10. Berkolaborasi dengan pelbagai pihak.

Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih kepada semua, saya kira selesai setakat ni dah pukul 11.00. Kita telah dapat menjawab 16 soalan dengan 11 jawapan daripada EXCO dan Menteri Besar. 16 selesai soalan, kemudian 11 dapat menjawab. Biasanya 7, 8 so kita dah tambah tiga pada hari ini melalui formula baru kita yang kita telah tetapkan tadi ya. Jadi, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Kita berehat 20 minit sehingga pukul 11.20. Sekian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.

Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2020) Tahun 2019.Bill

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, suka saya mengingatkan menurut Peraturan Tetap 112 (2) maka Perbahasan Atas Rundingan itu hendaklah dihadkan kepada lunas-lunas am berkenaan dengan dasar dan pentadbiran kerajaan sebagaimana yang tersebut dalam Rang Undang-Undang ini. Dimaklumkan bahawa tempoh perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah selamat empat hari iaitu mulai hari ini 24 November hingga 27 November 2019. Ahli Yang Berhormat, saya akan menyeru nama, kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya penuhi. Untuk mencadang Rundingan, masa yang diberikan adalah selama 45 minit hingga 1 jam, penyokong diberi masa 30 minit, Ketua Pembangkang diberi masa 30 minit manakala Ahli-Ahli Dewan yang lain diberi masa 15 hingga 20 minit. Bagi membolehkan semua Ahli Yang Berhormat dapat berucap, saya mohon kerjasama semua agar dapat mematuhi masa yang telah diberikan. Perbahasan Atas Rundingan Bagi Bacaan Kali Kedua Enakmen Perbekalan (2020) Tahun 2019 dimulakan sekarang. Yang Berhormat Kempas jemput.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam harapan dan

selamat pagi. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberikan peluang dan ruang untuk saya berucap pada pagi yang mulia ini. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya serta izinNya dapat kita bersama-sama di dalam Persidangan Dewan Negeri pada tahun ini iaitu untuk kita membahaskan Belanjawan Johor 2020 yang bertemakan ‘Memakmur dan Mensejahterakan Johor Bestari’.

Belanjawan Johor 2020 ini telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kita pada hari Khamis, 21 November yang lepas di mana mengambil masa lebih kurang 3 jam 5 minit dan banyak perkara-perkara dalam isi kandung dalam Belanjawan ini telah pun dikemukakan kepada kita dan alhamdulillah setelah saya semak dan mengikuti Belanjawan bagi negeri Johor 2020 adalah satu belanjawan yang holistik, yang mampan, yang boleh kita anggap sebagai satu belanjawan untuk kesejahteraan dan juga kesinambungan rakyat serta negeri Johor Darul Ta’zim.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada jabatan-jabatan yang terlibat khususnya Unit Perancang Ekonomi Negeri, ketua-ketua jabatan yang lain yang bekerjasama untuk merealisasikan bagi untuk menjayakan Belanjawan 2020 ini. Dan saya juga tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat juga kerana belanjawan ini sebagaimana yang dinyatakan dalam ucapan beliau memberikan satu endorsement kepada saya sebagai mantan Menteri Besar yang lalu di mana saya telah pun membuat satu blueprint dengan izin, untuk kita merealisasikan dalam tempoh 2019 dan 2030 itu. Di samping itu, saya juga ucapkan terima kasih kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri yang selama ini dapat bekerja untuk merealisasikan dan bekerjasama semasa saya menjadi Menteri Besar dahulu akan segala matlamat dan tujuan apa yang rakyat dan juga negeri Johor kehendaki.

Dalam era moden ini kita mestilah mempunyai satu pendekatan dalam kematangan kita berpolitik dalam atmosfera yang begini rupa, keadaan yang mencabar, di samping keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu dari masa ke semasa, menjadi pemimpin dan juga kerajaan yang memerintah sesebuah negeri dan juga negara itu bukanlah mudah. Kita terpaksa memikirkan bagaimanakah solusi-solusi tertentu untuk kita memenuhi cita rasa rakyat yang semakin hari semakin meningkat dan juga dalam soal beberapa faktor yang lain. Jadi itu sebablah dalam soal kita berpolitik ini kita mesti letakkan kematangan politik kita di atas. Kita perlu bekerjasama sama ada kita ini kerajaan mahupun kita ini pembangkang dan juga pegawai kerajaan. Kalau untuk menjayakan segala apa yang kita mahukan, rakyat mahukan dan juga negeri mahukan, maka sudah tentulah asas yang di atas kerjasama dan perpaduan yang jitu. Kita tidak perlu untuk menuding jari kepada sesiapa pun, jangan kita bimbang dan takut akan kelemahan dan kesalahan kita dan jangan kita semata-mata menuding jari kesalahan dan kelemahan orang. Kita mahukan menjadi Bangsa Johor ini sebuah negeri yang kuat, menjadi satu negeri di mana ekonominya kukuh, kalau dahulu satu ketika Johor ini dianggap sebuah bukan sahaja sebuah negeri Johor Moden juga tetapi ekonomi kukuh. Tetapi dalam keadaan apa yang saya katakan itu tadi, dalam keadaan yang tidak menentu ekonomi, maka sudah tentulah banyak rintangan dan halangan.

Saya menyeru khususnya Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada sebelah sana perlulah memberikan idea-idea yang baik, yang bernas, bekerjasama di antara kita sesama kita kerana tujuan dan matlamatnya walaupun kita di pihak pembangkang dan kita sini di pihak kerajaan adalah satu iaitu untuk melihat Bangsa Johor ini bestari dan negeri Johor ini maju seterusnya. Dalam soal pergolakan politik itu untuk mendapatkan kuasa itu perkara biasa. Tetapi kalau kita hanya mengherdik, kalau kita hanya mengeluarkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan negeri kita, bangsa kita. Apatah lagi kalau kita menabur fitnah menggunakan perkataan-perkataan yang kesat, menggunakan perkataan-perkataan yang boleh mengelirukan rakyat. Akhirnya rakyat akan terjerumus ke satu kancah yang tidak menentu, yang tidak meletakkan keyakinan kepada kerajaan. Kalau itu berlaku, keadaan negeri kita akan tidak stabil, maka sudah tentulah keadaan ekonomi kita akan tergugat. Kalau keadaan ekonomi kita tergugat, perjalanan dalam untuk kita memerintah negeri ini

juga tergugat, maka sudah sewajarnyalah pelabur asing akan takut datang ke mari, peniaga-peniaga tidak akan dapat menjalankan perniagaan mereka dengan baik. Kerajaan tidak dapat memungut cukai, kerana cukai ini adalah amat perlu dikumpulkan sebagai dana untuk kita membangunkan negeri kita, memberikan segala bentuk keperluan rakyat di negeri Johor ini. Jadi, itu sebablah kalau kita hendak memberikan sesuatu komen, biarlah berpada-pada dan berlandaskan kepada budaya negara dan negeri kita ini. Jangan keterlaluan sangat. Ada sesetengah pihak hingga melebihi daripada garis batasan budaya kita, maka ini kalau berterusan fenomena ini akan berterusan maka sudah tentulah akhirnya kalau kerajaan yang ada pada hari ini gagal untuk meneruskan, kerajaan baru akan mengambil alih maka sudah tentulah keyakinan rakyat akan serupa. Ini kalau kita lihat, kerajaan-kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi di dunia ini contohnya di negara-negara barat, mereka tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh memudaratkan negara mereka. Bahkan saya begitu juga ucapan-ucapan di dalam Dewan-Dewan Parlimen di Eropah sana, mereka sentiasa memberikan pandangan-pandangan yang bernas walaupun ada kritikan-kritikan tetapi masih juga mereka melakukan itu dengan garis panduan yang cukup teratur yang memberikan kesan positif kepada rakyat untuk memikir dan juga memberikan sokongan kepada kerajaan yang memerintah pada ketika ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, setelah saya meneliti tentang Bajet Belanjawan 2020 ini yang mempunyai 6 Teras, dengan kalau kita lihat, Teras Pertamanya ialah Mensejahterakan Rakyat. Ini mempunyai 8 Agenda dan 123 pecahan. Memang selama ini kita lihat setiap kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat akan sentiasa menitikberatkan dalam soal untuk kita melihat supaya rakyat negeri Johor ini sejahtera. Banyak perkara-perkara yang saya lihat menjurus kepada kebaikan, perancangan-perancangan yang teliti dan sebagainya. Dengan 6 Teras ini selain daripada Mensejahterakan Rakyat juga memakmurkan ekonomi, melestarikan alam sekitar, membangunkan modal insan mempunyai 4 Agenda. Melestarikan Alam Sekitar mempunyai 17 Agenda. Memakmurkan ekonomi mempunyai 52 agenda. Yang kelima, mengukuhkan jati diri mempunyai 4 agenda dan teras untuk membaiki tadbir urus mempunyai 20 agenda. Bermakna kalau kita lihat perkara ini sudah merangkumi segala-galanya cuma pecahan-pecahan yang ada di dalam ini perlulah ditokok tambah untuk menguatkan lagi di samping juga kalau kita hanya semata-mata meletakkan begitu banyak agenda dan huraiannya tetapi kita tidak dapat memenuhi maka sudah tentulah kegagalan juga akan kita dapati nanti.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita sudah pun merdeka lebih daripada 62 tahun. Dan, negeri Johor ini mempunyai penduduk yang boleh dikatakan ramai. Semasa kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih sebagai kerajaan untuk memerintah negeri Johor ini kita beranggapan kita menerima ataupun mengahwini seorang janda yang mempunyai ramai anak. Dan, mereka ini mempunyai hutang yang begitu banyak yang terpaksa suami baru ini menyelesaikan hutang-hutang di samping menanggung segala apa yang ditinggalkan bekas suami si janda ini.

Speaker

Nasib baiklah suami yang baru itu ada pengalaman ya.

Saya setuju. Nasib baiklah sebagaimana Yang Berhormat Tuan Speaker tadi, suami yang baru ini bukan sahaja mempunyai pengalaman tetapi kekuatan daripada segi semangat dan fizikalnya itu. Oleh sebab itu, maka sudah sewajarnyalah suami yang lama itu memberikan masa untuk melihat akan kejayaan suami yang baru ini. Kalau mereka sudah bersama-sama lebih berpuluhan tahun tidak berjaya, kita hari ini baru kahwin dengan janda mereka hanya setahun setengah sahaja tetapi lemparan kritikan-kritikan yang diberikan kepada kita ini amat aneh sekali. Macam kita ini sudah memerintah 62 tahun umpamanya. Ada yang kita katakan kita ini kerajaan yang lemah. Ada yang mengatakan kita ini kerajaan yang u-turn. Dia tak sedar kita hanya u-turn tetapi mereka ini sudah berpuluh kali u-turn sehinggalah termasuk dalam sungai pun. Kita masih u-turn dan masih lagi selamat. Segala kritikan yang dilempar kepada kita, kita masih lagi ada masa dan ruang untuk kita bina balik. Kita mempunyai 3 tahun lebih sikit lagi. Insya-Allah dalam masa 3 tahun lebih ini, kita akan membina negeri

Johor ini sebagai negeri yang lebih maju daripada negeri yang diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu, insya-Allah. Dengan adanya keyakinan kepada kita di samping kerjasama daripada rakyat yang memberikan mandat di dalam Pilihan raya yang ke-14 yang lepas, insya-Allah apa yang kita rancangkan ini akan kita atasi.

Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat, walaupun di dalam pilihan raya kita tidak mempunyai keyakinan untuk menjadi kerajaan tetapi kita meletakkan 10 janji dalam Manifesto kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor. Dan, hari ini 10 janji ini sudah pun kita penuhi sebagaimana yang sedia maklum. Insya-Allah, kita tidak akan kencing rakyat. Kita bukan macam kerajaan yang lama. Bukan kata kencing, kalau saya katakan tak sedap dengarlah, lebih daripada itu. Yang hari ini terpaksa kita bersihkan segala benda-benda yang sudah pun ditinggalkan. Yang busuknya pun sudah hilang tetapi keraknya masih ada lagi bertepek-tepek lagi. Hari ini beban itu terpaksa ditanggung oleh kerajaan yang ada pada hari ini khususnya di negeri Johor. Berapa banyak GLC-GLC saya mengambil contoh, Johor Corporation hari ini masih lagi terhutang di mana kerajaan negeri Johor menanggung RM2.8 bilion yang dijanjikan kepada saya untuk diselesaikan dalam masa 2023.

Kalau dahulu kerajaan memberikan geran sebanyak RM500 juta untuk mendirikan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor. Hari ini bukan kata wang itu hilang tetapi juga masih menanggung yang begitu banyak. Berapa ramai pencarum-pencarum Amanah Saham Johor dan Dana Johor tidak kurang daripada 24,000 mereka sudah pun dibankrapkan oleh peminjam-peminjam. Hari ini mereka dalam keadaan yang begitu susah bukan sahaja bankrap tetapi oleh kerana hutang itu masih dituntut oleh institusi kewangan maka mereka juga perlu membayar kesusahan-kesusahan sedikit sebanyak yang dialami oleh rakyat pada hari ini adalah terbit daripada angkara-angkara yang dibuat oleh kerajaan yang terdahulu. Berapa banyak GLC yang menanggung hutang pada hari ini? Patutnya GLC yang ditubuhkan oleh kerajaan yang dipunyai oleh 100% oleh kerajaan ini membantu balik kerajaan untuk membina surau, membina masjid, sekolah agama, sekolah, jalan kampung dan sebagainya tetapi tidak dapat merealisasikan tujuan dan matlamat kerajaan menubuhkan GLC-GLC ini. Jadi, terpaksa kerajaan memperuntukkan ratusan juta ringgit kerana GLC-GLC tidak dapat membantu mereka, tidak dapat melaksanakan, tidak dapat menjayakan matlamat dengan membuat keuntungan dan keuntungan balik untuk membantu kerajaan.

Hari ini pulak, kerajaan kena menanggung pulak. Saya mengambil contoh satu GLC ada di dalam Belanjawan ini. Dahulu semasa kerajaan Pakatan Harapan mula-mula menjadi kerajaan memerintah negeri Johor ini, hutang kerajaan negeri kepada hutang kerajaan persekutuan lebih kurang RM400 juta. Saya dan rakan-rakan saya memohon kepada kerajaan persekutuan untuk dijadikan geran dihapuskan hutang itu. Cuma yang tinggal pada hari ini bukan hutang kerajaan tetapi hutang ditanggung oleh kerajaan oleh Johor Corporation iaitu sebanyak RM70 juta lebih. Siapa yang menjadi kerajaan pada ketika itu? Sehingga pada suatu ketika dahulu pada tahun 1999 hutang kerajaan negeri Johor dengan kerajaan persekutuan lebih RM900 juta. Oleh kerana kita terpaksa membayar faedah yang begitu tinggi kita kena korban. Segala aset-aset tanah-tanah yang dipunyai oleh kerajaan di mana terletaknya empangan-empangan air, pejabat-pejabat yang dipunyai oleh kerajaan untuk syarikat air pada ketika itu dijual kepada kerajaan persekutuan kerana untuk menebus ataupun untuk melangsaikan hutang sebanyak RM900 juta. Itu pun tak selesai, ada RM300 juta lebih lagi. Begitu juga, KPRJ pada kerajaan yang lama dahulu mencagarkan tanah di mana projek, 21 projek KPRJ sebanyak RM600 juta. Kita tak tahu duit RM600 juta itu sepatutnya cagarkan tanah kepada bank untuk membelanjakan tanah ataupun Projek 21, projek yang dirancangkan oleh KPRJ, tetapi wang itu tak tahu ke mana. Pada tahun 2000, konon-kononnya nak buat online seluruh Pejabat Tanah dan Daerah dengan PTG sudah membayar lebih kurang RM20 juta kepada IBM tetapi gagal, kena saman dengan IBM. Kita kena bayar pulak lagi. Habis RM100 juta. Menubuhkan Institusi Sultan Iskandar, dengan melantik konon-kononnya golongan profesional dengan gaji yang begitu besar. Tetapi bukan untuk merancangkan sesuatu untuk kebaikan ekonomi negeri tetapi hanya semata-mata untuk mengaut segala keuntungan dengan gaji yang besar dan juga peluang-peluang

perniagaan yang lain. Akhirnya KPRJ menanggung hutang sebanyak RM900 juta. Untuk menyelesaikan hutang itu yang dibuat oleh kerajaan dahulu, kerajaan negeri Johor terpaksa menjual tanah-tanah ataupun aset rakyat sebanyak 21 projek ini, contohnya Danga Bay hari ini siapa punya? Senibong Cove siapa punya? Dan banyak lagi tanah-tanah yang diduduki oleh rakyat, yang didirikan rumah-rumah setinggan hari ini sudah dipunyai oleh syarikat-syarikat, yang dahulunya adalah hak kepunyaan kerajaan, kalau kerajaan itu, itulah rakyat, projek yang dibangunkan contohnya di Perling, di Kempas dan sebagainya, terpaksa diusir rakyat-rakyat yang duduk di atas tanah kepunyaan kerajaan ini yang dianggap sebagai setinggan.

Ini angkara, dibuat oleh siapa, adakah Kerajaan Pakatan Harapan yang dinamakan kerajaan kencing sebagaimana yang dinyatakan oleh YB sebelah sana? Yang kuat kencing kerajaan dulu bukan sekarang. (Dewan bertepuk). Tapi kencing mereka, kencing senyap, alih-alih bau hancing aje gitu. Jadi, jangan menuduh yang bukan-bukan. Saya boleh menghuraikan satu persatu, berapa banyak tanah-tanah yang dipunyai oleh rakyat, yang tergadai, yang hari ini tergantung begitu sahaja tidak ada jalan penyelesaian yang dibuat oleh kerajaan yang lama. Di mana tanah Rancangan FELDA Cahaya Baru hari ini tergadai, yang sepatutnya dimajukan, diberikan manfaat kepada rakyat, yang sudah meneroka sebagai peneroka 50 tahun lebih, siapa punya angkara, pemimpin-pemimpin Kerajaan Barisan Nasional.

Rancangan Tanah Remaja Ulu Tiram, siapa dia, saya tak nak sebutkan sahaja, ada orangnya dekat sini, hari ini, ada yang separuhnya sudah hilang akal kerana harta mereka sudah tergadai tidak tahu apa hal tuju mereka. Banyak tanah-tanah, itu sebab rakyat negeri Johor khususnya adalah rakyat yang waras, yang boleh berfikir, yang satu ketika dahulu, kita rasa bangga, satu-satunya negeri Johor ini adalah negeri yang maju, kaya tetapi harta yang rakyat negeri Johor punyai, sudah tergadai, siapa yang mengadaikan? Adakah Kerajaan Pakatan Harapan, yang baru berumur satu setengah tahun ini? Saya menjadi Wakil Rakyat tak pernah menjadi pembangkang. Dulu saya di sana pun dalam kerajaan, di sini pun dalam kerajaan tetapi alangkah malangnya kawan-kawan saya di sana tu dah jadi pembangkang. Dalam sejarah hidup saya, tak pernah jadi pembangkang.

Saya tak nak sebutkan lagi, banyak tanah-tanah yang digadaikan. Pagi tadi, saya berbincang dengan Yang Berhormat EXCO Pertanian. Tanah Pertanian Bersepadu di Air Hitam, sebanyak 4,000 ekar diberikan kepada siapa? Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Jawatankuasa, Bendahari UMNO Bahagian, tetapi telah sudah disalahgunakan. Sepatut kita mengadakan pusat pertanian moden di Air Hitam itu untuk kita mengurangkan daripada kita mengimport barang-barang makanan seperti sayur, buah-buahan daripada negara luar, tetapi sudah disalahgunakan dengan menanam kelapa sawit. Kalau dia tanam sendiri tak apa, disewakan pula dengan orang lain, dengan mudah mereka mendapat wang. Ini satu pengkhianatan yang amat jelas sekali.

Saya boleh nyatakan satu persatu, hendak mendapatkan kuasa bukan semata-mata kerana nak memperjuangkan rakyat, kerana nak membina negeri kita ini, ada hidden agenda yang tertentu, dengan izin. Jadi, itu sebab jangan sampai kita katakan paku dulang, paku serpih, mengata orang, diri mereka yang lebih. Kita kena berhati-hati dalam soal ini. Bukan saya tak boleh baca satu persatu.

Tadi YB Rengit, dia kata, kita u-turn, saya kenal dia, ini bukan kata u-turn, kaki pusing pun ia. Saya cuma tak nak cakap secara detail tapi dalam Dewan yang mulia ini saya kena jugalah jentik telinga mereka, supaya beliau lebih sedar sikitlah. Jangan kata orang tu nak menuduh sembarangan, kaki kencing, u-turn dan sebagainya. Kita sebagai sahabat di luar, kadang-kadang, kalau kita dalam kempen politik untuk kita memenangi sesuatu pilihan raya pun ada garis panduan dan juga batasan. Apatah lagi sebagai sahabat kadang-kadang, kerana tujuan dan matlamat kita adalah untuk membina negeri Johor ini. Untuk mensejahterakan rakyat negeri Johor ini, dengan segala apa yang kita buat ini mendapat faedah, supaya suatu hari nanti kita negeri Johor ini akan lebih dihormati oleh negeri-negeri lain.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Kalau kita lihat dalam Teras 6, yang digarispanduankan oleh Yang Amat Berhormat, sudah cukup baiklah. Saya amat berbesar hati, mudah-mudahan semua EXCO-EXCO kita ini akan dapat bekerjasama untuk melaksanakan akan program dan juga segala perancangan yang ada dalam Belanjawan Johor 2020 ini.

Saya juga berterima kasih kerana tempat saya ini banyak PPR, Projek Perumahan Rakyat. Saya ada 2,254 unit dengan penduduknya sebanyak 10,000 orang. Jadi, dalam bajet ini ada, yang lepas kita memberikan potongan sebanyak 50% dalam Manifesto kita kepada mereka-mereka yang tidak mampu untuk membayar sewa. Dan itu kita bagi dalam tempoh 6 bulan tapi dalam tahun ini, kerajaan memberikan 20% pula tidak mengikut kadar masa tetapi terbuka sehingga tahun 2021, dengan kadar potongan sebanyak 20%, kepada mereka-mereka yang ada menanggung hutang itu. Saya ucapkan terima kasih kerana ini melibatkan kawasan saya.

Yang keduanya, saya juga melihat dalam agenda yang pertama iaitu Mensejahterakan Rakyat ini. Ini kita dalam soal pembangunan, saya harap sebagaimana yang saya katakan tadi ini, memberikan tumpuan bukan sahaja sama rata di antara bandar, pinggir bandar dan juga kampung tetapi saya menyeru supaya kerajaan ini akan melihat, bukan bermakna saya ini tidak apa, menyukai kawasan-kawasan di luar bandar tetapi kawasan di bandar ini orang-orang yang mendatang, yang berhijrah daripada kampung. Penghijrahan mereka ini mungkin mereka mencari nafkah, mencari rezeki. Kalau kawasan Dewan Undangan Negeri Kempas ini pengundinya hanya baru 52,000, dia punya DUN tetapi kalau tengok rakyatnya di PPR aje ada 10,000 penduduk.

Kemudian, kita ada lebih kurang dekat 24 taman, di mana taman ini lebih kurang dekat 250,000. Bermakna DUN Kempas ini menanggung lebih kurang 350,000 rakyat. Jadi, dengan kebanjiran mereka-mereka yang datang, soal rumah sewa yang tinggi, soal mereka-mereka terpaksa kerana rumah sewa tinggi, terpaksa meneroka di tanah-tanah kepunyaan kerajaan, swasta dan juga apa, GLC-GLC untuk mendirikan rumah-rumah setinggan.

Saya berharap, mereka juga rakyat, untuk sementara waktu, mereka tinggal, untuk mencari tempat tinggal mereka dengan lebih sempurna, mereka terpaksa mendirikan rumah-rumah setinggan. Saya berharap kepada kerajaan berikanlah bantuan untuk mereka menikmati bekalan api dan air dan juga sistem pembuangan sampah, bukan sahaja untuk mengelakkan daripada jangkitan-jangkitan penyakit dan sebagainya tetapi juga untuk menjaga kelestarian kawasan khususnya di dalam DUN Kempas ini.

Kita mahu melihat supaya rakyat yang tinggal di situ sejahtera, dapat tinggal dengan sempurna, mendidik anak mereka yang kita anggap anak-anak mereka ini sebagai aset negeri dan juga negara. Kalau mereka tidak diberikan segala kemudahan asas yang cukup, mungkin tumbuh besar mereka akan terencat. Maka mereka juga tidak akan dapat pendidikan dengan secara yang sempurnanya, akhirnya kalau mereka ini gagal dalam kehidupan, segala tanggungan terbeban balik kepada kerajaan. Jadi, sebelum perkara itu berlaku, saya mohon kerajaan juga menitikberatkan dalam soal perjuangan kita untuk memperjuangkan mereka-mereka, bukan sahaja B40 tetapi setinggan-setinggan di kawasan bandar-bandar ini.

Selain daripada itu, saya juga melihat walaupun mereka ini tinggal di bandar, mereka masih daripada golongan umpamanya golongan yang dianggap sebagai golongan bukan asnaf tetapi fakir. Yang saya minta, supaya kerajaan melalui Jabatan Agama Islam melihat bukan sekadar untuk memberikan bantuan setahun sekali sahaja, bulanan hanya sekadar RM200.00, RM300.00 tetapi yang lebih mustahak kalau boleh keluarkanlah zakat, yang ratusan juta ringgit, yang masih terkumpul itu untuk membeli rumah-rumah murah yang diberikan secara percuma kepada golongan fakir ini.

Saya mencadangkan supaya wang zakat yang dikumpulkan oleh Jabatan Agama Islam ini oleh kerajaan negeri Johor ini, dikeluarkan pada setiap tahun RM10 juta. RM10 juta kita beli rumah yang harganya RM50,000.00, kita boleh dapat lebih kurang 200 unit dan kita boleh belikan, berikan secara percuma kepada golongan-golongan fakir ini. Kalau setahun kita boleh bina dengan RM10 juta ini beri percuma kepada golongan fakir ini, 10 tahun kita dapat 2,000 unit.

Berapa banyak fakir di negeri Johor ini, kalau ada 2,000 bermakna dalam 10 tahun kita tak akan nampak, kita tidak akan melihat golongan-golongan fakir ini duduk di tanah-tanah setinggan, duduk di rumah-rumah menumpang yang bobrok dan sebagainya. Mereka juga sebagai manusia yang patut kita perjuangkan kerana matlamat dan tujuan mereka-mereka yang membayar zakat ini adalah untuk membantu dan di samping untuk meninggikan lagi syiar Islam kita. Tapi kalau hari ini kita lihat begitu sedih sekali. Membuat satu perancangan yang terperinci tak apa, kita beri percuma kalau mereka ini dapat tinggal, ada rumah, makan, minum itu perkara nombor dua. Mereka boleh bekerja, dengan pendapatan yang sikit, rumah sendiri ada, maka sudah tentulah akan cukup untuk menyara kehidupan mereka hari ke hari.

Saya lihat, kita jangan rasa banggalah, jangan rasa bangga, kita dapat pungutan ratus juta, kita kumpulkan dalam simpanan tetap, ratusan juta tetapi mereka-mereka ini yang masih memerlukan, tidak diperjuangkan nasib mereka. Jadi, saya rasa dengan kerajaan yang baharu ini, dengan EXCO yang baru ini memikirkan sesuatu untuk menyelesaikan masalah kesejahteraan rakyat ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Teras yang kedua adalah memakmurkan ekonomi mempunyai 52 agenda. Dalam soal kita untuk memakmurkan ekonomi negeri Johor ini, selain daripada kita menerima kedatangan pelabur-pelabur asing, kita juga mesti memikirkan bukan hanya sekadar untuk kita melalui keusahawanan kita, membuat perkara-perkara yang sudah biasa dibuat, yang sudah biasa diamalkan. Keadaan dunia sekarang ialah sains dan teknologi. Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada kerajaan persekutuan, kalau kita mahu meletakkan negeri Johor ini sebagai sebuah negeri moden, kita mesti memikirkan, kita buat dengan izin research and development, bagaimana untuk kita memajukan teknologi baharu ini. Kita membuat jentera-jentera pertanian moden atas kreativiti kita sendiri, rakyat Johor yang mengeluarkan jentera-jentera moden ini untuk pertanian khususnya, kalau kita nak buat kapal terbang tu jauh sangatlah umpamanya. Jadi, fokus-fokus perkara yang macam inilah untuk kita merancakkan lagi ekonomi di samping kita dianggap sebuah negeri yang menyahut akan seruan dunia dan juga negara kita ini menuju ke arah teknologi tinggi kerana kalau kita tengok pertanian hari ini, masih lagi gunakan manual, cara lama. Saya tengok ada, apa syarikat-syarikat yang dipunyai oleh individu cuba untuk memodenkan teknologi-teknologi ini. Jadi, kita sebagai kerajaan sekarang mesti jugalah mengadakan perkara-perkara yang menjurus kepada perkara-perkara dalam soal memodenkan teknologi ini. Saya cadangkan supaya khususnya dalam soal teknologi pertanian ini, kerana kita mempunyai tanah yang banyak. Hari ini rakyat masih memajukan tanah itu dengan cara yang lama. Tapi kalau kerajaan buat sendiri umpamanya, memotong buah kelapa sawit dengan secara moden, tak adalah pakai sabit lagi, pakai galah lagi, fikirkan baik-baik. Jangan kita fikirkan sebagaimana nak buat kerepek, keropok dan sebagainya ini dah lama dah. Kalau nak buat pun bolehlah, tapi mesti berlandaskan satu pendekatan yang moden cara packagingnya, kemudian kita cari jalan bagaimana untuk kita memasarkan bukan hanya dalaman tetapi juga ke luar negara dan sebagainya macam mana yang dibuat kerajaan-kerajaan seperti di Indonesia, di Thailand, di Filipina dan sebagainya. Ini hanya kadang-kadang kita jual kerepek di pasar-pasar malam, pasar tani dan sebagainya. Ada sebahagian kecillah kalau nak diibaratkan nampak jugalah di luar negara tapi melalui siapa? Jadi, saya berharap kalau ini dirintis jalan dengan secara berdikit-dikit, kita masih dapat mengukuhkan lagi kesejahteraan negeri Johor ini sebagai sebuah negeri, negeri moden dan juga negeri yang mempunyai satu wawasan yang begitu jauh.

Selain daripada itu Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya melihat dalam teras untuk membaiki tadbir urus dan cekap dan berintegriti, saya rasa perkara ini sudah pun berulang kali dilaung-laungkan dalam ucapan-ucapan Yang Berhormat lepas-lepas pun banyak, mempersoalkan dalam soal integriti dan juga kecekapan jati diri khususnya kakitangan penjawat awam sendiri. Saya mahu perkara ini bukan sahaja menjadi satu omong-omong kosong yang amat perlu pada hari ini ialah kerajaan yang memerintah adalah kerajaan Pakatan Harapan. Kalau dahulu kerajaan Barisan Nasional, kita sebagai penjawat awam, kita kena bekerja dengan kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat di dalam setiap lima tahun sekali. Tapi saya lihat dalam soal perkara ini tidak timbul ada sebahagian daripada penjawat awam yang masih lagi kekal dengan konsep dan juga saya pun nak cakap pun susah. Masih dihantui, dihantui oleh kerajaan yang lama.

Saya lihat ada sebahagian daripada Wakil-Wakil Rakyat kita ini berurusan dengan pejabat-pejabat daerah atau jabatan-jabatan yang lain, dia dianggap sebagai macam anak tiri kadang-kadang, begitu juga Ketua-Ketua Kampung, kadang-kadang berurusan dengan pejabat-pejabat dia dianggap sebagai orang yang tidak menjawat jawatan yang untuk kesejahteraan rakyat. Jadi, saya rasa pendekatan yang tidak baik itu perlulah diperbaiki dan saya mahukan supaya kerajaan yang ada pada hari ini lebih tegas lagi. Kalau ada di kalangan ketua-ketua jabatan dan juga penjawat awam ini yang tidak seiring sejalan dengan kerajaan pada hari ini sama ada mereka diberikan kata dua ataupun baik berhenti sajalah. Kerana tujuan dan matlamat ini adalah untuk mentadbir negeri kita ini dengan baik, supaya kesejahteraan rakyat ini dapat kita buat, kelangsungan pembangunan negeri Johor ini akan dapat diteruskan tetapi kalau banyak sangat birokrasi yang terdapat maka sudah tentulah akan mengenjotkan lagi perjalanan dan urusan-urusan ini. Kalau di sebelah kerajaan, saya boleh tegur, di pihak atasan EXCO-EXCO ni semua tak betul, ini semua anak murid saya dulu, saya boleh tegur. Tapi kalau kakitangan awam, mereka mempunyai ketua yang di atas, ketua ni kena tegurlah bawahan, janganlah kita pihak atas nak tegur nanti dia kecil hati pulak.

Saya, semasa saya menjadi Menteri Besar, saya dah luluskan peruntukan sebanyak RM4 juta lebih untuk membuat tembok pagar ni, sampai hari ini saya letak jawatan dah 7 bulan, tak buat juga, tak buat. Saya beranggapan Kota Iskandar ini, bangunan ini adalah bangunan yang strategik dan mempunyai segala rekod-rekod yang begitu mustahak. Tapi hari ini, sehingga hari ini duit tu dah ada dah, KPRJ dah buatnya, tapi tak dibuat, tak didengar pun. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan, dianggap saya ini bercakap, Wakil-Wakil Rakyat yang bercakap tak ada makna. Saya mintalah supaya perkara ini direalisasikan kerana hari ini kita ada Puteri Harbour, Puteri Harbour tu yang datang ke mari ialah daripada negara jiran yang begitu ramai pada setiap hari di samping di sekitar ini pembangunan-pembangunan yang begitu pesat. Kita takut nanti orang-orang ni akan datang masuk ke mari menceroboh. Kalau dah terantuk baru tergadah tak guna satu sen pun. Kita mempunyai rekod-rekod dan segala-galanya, di samping kita juga menyimpan wang di sini, daripada bayaran-bayaran cukai tanah dan cukai sebagainya ini amat mustahak. Jadi, kerja tu biar janganlah sampai begitu, begitu lama sedangkan wang peruntukan tu dah ada dah.

Saya minta begitu juga Dewan ini, sudah ada peruntukan untuk di baik pulih sehingga hari ini sepatutnya bulan 12 tahun lepas memberikan jangka masa 6 bulan tetapi masih lagi yang ditukar ini aje. Ini saya cakap bukan saya cakap minta, bendanya dah ada dah, kenapa tidak direalisasikan? Di situ ada kelemahan-kelemahan tertentu. Adakah kita akan sentiasa menegur, menegur, menegur, menegur? Kalau budak kecik menegur, tak tegur kita sepak aje dia, tapi ini. Ini sebab kata integriti ketelusan dalam soal kita melaksanakan tanggungjawab kita. Mungkin kalau saya katakan sabotaj nanti lebih pulak kerana nak melemahkan kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini. Saya kena tegur dalam Dewan yang mulia ini, terima tak terima itu soal nombor dua kerana tujuan dan matlamat hati dan nurani saya adalah untuk melihat negeri Johor ini terus maju, terus dihormati. Dan, kita di antara kita ini mestilah saling hormat, menghormati dan bekerjasama. Itu sebab saya katakan awal dalam ucapan saya perlu bekerjasama bukan sahaja soal pembangkang dengan juga kerajaan, tetapi juga kakitangan awam.

Saya bukan nak kritik, ini secara ikhlas saya sebab saya pernah duduk sebagai Menteri Besar dan saya pernah 4 penggal jadi Wakil Rakyat dan saya pernah menduduki dalam PAC pun. Begitu lama dekat 12 tahun, saya tahu kelemahan-kelemahan ini cuma saya kadang-kadang sedih dan juga terkilan untuk melafazkannya dari mulut saya. Kalau ini dilaksanakan, insya-Allah bukan sahaja tabungan yang kita simpan pada hari ini RM2.4 bilion sebagai wang yang kita ada, lebihan kita ada, bahkan lebih daripada itu mungkin RM10 bilion kita ada. Kerana banyak perkara-perkara yang membazir yang sepatut dijadikan wang dana untuk kita simpan bagi kita memberikan kesejahteraan kepada negeri dan juga rakyat tetapi membazir begitu sahaja. Ini amat perlu, perkara-perkara yang mustahak kadang-kadang tidak dibuat, tetapi perkara-perkara remeh kadang-kadang didahulukan. Saya minta Yang Amat Berhormat sendiri pun kena lihat perkara ini.

Itu sebab ramai di kalangan semasa saya menjadi Menteri Besar agak tidak senang dengan kedudukan saya sebab pukul 8.30 pagi akan pergi ke jabatan-jabatan, lampu mentol 1 pun saya kena tunjuk, sekarang juga kena ganti. Especially PTD-PTD pejabat-pejabat kerana kita menerima kedatangan orang, orang tu datang nak memberikan wang kepada kita kerajaan untuk kita belanjakan, tetapi kalau pejabat itu pukul 9.00 lagi belum ada orang, lampu gelap lagi, orang akan tunggu di luar akhirnya mereka itu kalau tunggu lama sangat dia akan pulang. Kita rugi duit pungutan tak dapat pada hari itu. Itu sebab saya berikan insentif tertentu kepada mana-mana pejabat tanah dan daerah yang dapat lebih daripada collection dia lebih 85% kita berikan ganjaran tertentu. Alhamdulillah, hari ni kita dapat lebihan RM263 juta. Saya ucapkan tahniah kepada Pegawai Kewangan Negeri kita kerana ini juga idea beliau.

Ini saya yang baik, saya akan cakap baik, yang membantu kita, saya cakap tahniah, itu sebab kita menghadapi setiap perbelanjaan kita pada setiap tahun meningkat tapi kalau kita tidak memikirkan cara bagaimanakah untuk kita mendapatkan dana bagi menampung kos perbelanjaan kerajaan pada setiap tahun, maka sudah tentulah kita akan menuju ke arah kerajaan yang muflis satu hari nanti. Bukan sahaja dalam soal berjimat, soal bagaimana untuk mendapatkan sumber kewangan perlu difikirkan dengan sebaik mungkin di atas bantuan dan idea serta pemikiran yang bernas daripada penjawat awam, Wakil-Wakil Rakyat, pembangkang dan sebagainya. Kerana tujuan dan matlamat kita saya sebut sekali lagi ialah untuk kesejahteraan negeri Johor, untuk rakyat bestari dan sebagainya. Alhamdulillah hari ini satu ketika dahulu pungutan kerajaan negeri Johor pada awal tahun 90-an baru RM800 juta, RM900 juta susah nak mencecah RM1 bilion, hari ini boleh pendapatan kita walaupun kita tidak mempunyai bijih tanah, kita tidak mempunyai kayu balak, kita tidak, sudah kekurangan hasil-hasil bumi, tetapi kita mampu lagi untuk mengumpulkan kewangan kita sebanyak RM1.7 bilion. Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah pada hari ini.

Selain daripada itu, Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, kita rasa segala perkara yang kita buat janganlah dianggap sebagai khususnya mereka-mereka yang tidak pro kepada kerajaan hari ini, umpamanya pepatah Melayu kata, ‘Janganlah bangkai gajah di depan mata tidak nampak, kuman di seberang laut nampak’. Jadi kita kena admit lah dengan izin. Kalau benda tu betul, betul, kalau benda tu salah, kita tegur. Jangan kita bimbang dan takut akan kelemahan dan segala kesalahan yang kita buat, jangan pula kita hanya semata-mata nak menutup kesalahan tu kita menuding kat orang lain, tapi kita kena buat sesuatu sebagai contoh dan tauladan yang baik supaya mereka ikut cara yang baik ini. Kalau tak baik, taruk tepi, yang baik kita ikut itu sahaja.

Tahun hadapan 2020 kita akan menjadi tuan rumah kepada SUKMA dan juga kepada Tahun Melawat Johor 2020. Dua dalam satu, dua event ini adalah event yang besar yang menjadi fokus kepada seluruh bukan sahaja rakyat di negara Malaysia bahkan juga di Asia dan juga di dunia. Saya hari ini tak nampak, ini dah masuk tinggal beberapa hari lagi tak sampai pun satu bulan. Promosi-promosi tertentu semasa Dewan bersidang yang lepas pun saya dah bercakap dah. Saya ambil satu contohlah baru-baru ini, saya untuk membantu,

saya adakan pertandingan golf antarabangsa, Indonesia, Brunei, Singapura dan sebagainya bukan atas inisiatif kerajaan tetapi atas inisiatif NGO-NGO untuk mempopularkan Johor ini, kita ada padang golf lebih kurang dekat 13 bertaraf antarabangsa umpamanya, pemain-pemain golf ini semua orang kaya-kaya, saya ni sebagai pencacai aje, mereka datang ke mari, tidur di hotel, hotel lima bintang, penuh, bawak keluarga mereka berbelanja, pergi shopping JPO, Paradigm, JBCC dan sebagainya, dua tiga hari dengan belanja ribuan ringgit. Datang daripada Indonesia, Brunei, daripada Vietnam, daripada Singapura dan sebagainya. Ini pendekatan yang dibuat sepatutnya lebih awal. Kita tak payahlah nak pergi Jepun, kita tak payahlah nak pergi Europe sana, ada tak nampak orang dekat Johor ini, orang Putih ini berjalan apa dekat Wong Ah Fook, tak nampak? Yang ada nampak orang Bangla, itupun pekerja asing di sini, orang Vietnam. Tempat saya banyak itu, ramai itu. Jadi gunakan promosi yang mudah, yang murah, yang cepat tetapi impaknya nampak. Indonesia ini ada 275 juta rakyat yang kaya kalau kita ambil 20% jelah dekat berapa, 14 juta. Di persisiran Kepulauan Riau ini ada 3.5 juta, masing-masing mempunyai sumber kewangan yang baik, yang boleh datang ke Johor ini begitu dekat, yang boleh membelanjakan. Kalau mereka nak pergi ke Jakarta sana jauh, datang ke Johor sini tetapi cara pendekatan bagaimana kita nak menarik mereka ini datang belanja ke Johor. Buatlah, tolonglah, kita hanya ada beberapa bulan.

Begitu juga promosi tentang SUKMA, masih lagi terkial-kial tetapi alhamdulillah ada pendekatan yang saya lihat kerana EXCOnya pun kadang-kadang jumpa saya minta buah fikiran. Saya bantu mereka, saya bantu beliau. Ini salah satu daripada EXCO yang rapat dengan sayalah, yang selalu datang, “Dato’ macam mana, macam ni”, bagus, tahniah. Yang lain agak liat sikitlah. Sebab mereka dah pandai, barangkali. Saya kena tegur sebab saya lebih senior, lebih tua lagi. Jadi ada pendekatan yang dibuat, hari ini pun persiapannya sudah 70%-80% cuma sekarang macam mana publisiti yang nak dibuat ini. Amat perlu, kerana kalau kita gagal dalam dua event yang besar ini, esok ada orang kata kita kencing pulak. Esok ada orang kata kita lemah pulak. Tolong jangan sampai ada perkataan begitu dilemparkan kepada kita kerana kita masih ada masa untuk membuat sesuatu supaya dapat menarik para pelancong datang dan berbelanja di Johor dan juga menjayakan sehingga dapat 60 pingat emas atlet kita daripada Johor ini. Jadi sekarang buat kerja. Kalau nak minta peruntukan jumpa Menteri Besar, tak payah jumpa saya. Kalau minta sedikit sebanyak idea, datang jumpa saya, insya-Allah saya akan memberikan idea. Jadi, ini amat perlu. Ini salah satu daripada pendekatan untuk meletakkan negeri Johor ini sebagai negeri yang berprestasi tinggi. Barulah Bangsa Johor Bestari. Tapi kalau nak buat sesuatu itu dengan tidak penuh keyakinan, not full effort, dengan izin. Maka sudah tentulah kita tidak akan nampak kejayaannya.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya berharap pada tahun 2020 ini kalau kita tengok 2020 ini cantiklah. Wawasan 2020 mungkin tidak dapat direalisasikan. Sudah diubah kepada Wawasan 2030. Jadi Wawasan 2020 hendak tak hendak kita kena terima. Kita kena terima sejauh manakah kejayaan yang dibuat, tetapi dalam tempoh 1 tahun yang mendatang ini iaitu tahun 2020 ini supaya dapat satu perubahan yang nyatalah terhadap kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat iaitu kerajaan Pakatan Harapan ini membuat sesuatu. Kita mahu supaya segala kemudahan-kemudahan asas yang masih lagi belum dapat ditunaikan walaupun projek-projek ini adalah projek-projek lama tetapi tanggungjawab untuk kita melihat supaya projek ini akan terus berjalan dengan lancar dan sampai tempoh waktu yang ditetapkan.

Saya nak menyentuh sedikit tentang kawasan sayalah. Ada satu projek pelebaran jalan daripada Kempas ke Kampung Maju Jaya. Dulu dia bagi satu kontraktor, kontraktor tu tuan punyanya meninggal. Dia bagi dengan secara direct kepada kontraktor baru, tetapi kalau kontraktor baharu ini boleh melaksanakan dengan baik, tak apa. Dah melebihi daripada jangka masa yang ditetapkan sehingga hari ini. Kalau nak pergi lepas ini pun tengok masih lagi terburai, dengan belanja saya rasa dalam RM17, RM18 juta, pelebaran jalan sahaja. Ini daripada kerajaan dulu. Tak tahulah kalau kita nak cakap ada hanky panky tu minta maaf jelah. Tapi itulah yang ada pada hari ini. Sehingga pada hari ini berserabut, berserabut. Saya minta EXCO JKR memandang serius perkara ini. Kalau masih lagi tidak ditetapkan

untuk disiapkan dengan segera maka saya akan bawa balik ke dalam Dewan ini, orang pertama yang akan saya tanya ialah EXCO JKR. Itu sudah lama. Saya dah tanya dah, yang lepas, bila nak siap ni? Kawasan itu adalah kawasan industri dan kawasan itu juga akan jadi venue, iaitu stadium yang besar, yang moden, yang baru di Kampung Maju Jaya untuk SUKMA nanti tapi kalau jalan itu dalam masa tempoh yang terdekat ini tidak siap itu salah satu perkara yang cela yang tidak dapat kita realisasikan, kita rasa malu dengan negeri-negeri yang lain yang akan datang ke mari. Itu jalan asas tu untuk pergi ke stadium baru kita tapi sehingga hari ini tak selesai lagi. Betul tak Yang Berhormat EXCO? Dia angguk tu. Jadi kena serius, bukan sahaja saya complaint ini dalam kawasan saya tapi menjadi jalan untuk keluar masuk ke stadium baharu yang sudah tertangguh lebih kurang dalam 17 bulan kalau tidak silap saya. RM17 juta ke RM18 juta, perlu ditengok. Begitu juga dalam soal pembinaan-pembinaan yang lain yang hari ni masih lagi tidak sampai kepada tahap kepuasan untuk kita lihat ada kesempurnaannya. Satu, dua perkara yang saya sebutkan itu, ini saya belum tengok lagi di kawasan daerah-daerah yang lain...

Speaker

Yang Berhormat ada satu minit lagi. Teruskan, teruskan.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, yang baik hati. Dia senyum saja kat saya. Dia suruh saya berucap, satu jam, satu jam lebih oklah, dia kata, dia bagi. Saya kata saya tak ada prepare apa-apa. Dia kata saya tak payah prepare, saya sebut apalah yang saya suka. Jadi saya sebutlah. Rupa dah melebihi dekat 1 jam, ada satu minit lagi. So, ada perkara, satu dua perkara yang saya tertinggal, saya nak cakaplah. Jadi, berikan sedikit masa lagilah Yang Berhormat Tuan Speaker.

Jadi, Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan, puan-puan sekalian, kita jangan bimbang dalam soal segala tohmahan-tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh sesiapa sekalipun khususnya pembangkang. Kita sebagai kerajaan pada hari ini mestilah berjiwa besar. Semangat kita mesti tinggi, pengorbanan kita, kita letak di atas. Kita jangan gentar dan juga jangan goyang dengan segala cabaran-cabaran, fitnah-fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang waima dalam masa pilihan raya ke, pilihan raya kecil ke, di dalam Dewan dan sebagainya. Kalau kita sebagai kerajaan pada hari ini kita lemah, semangat kita luntur, kita tidak akan menjadi satu kerajaan yang kukuh. Saya berharap kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat kerajaan pada hari ini letakkanlah jiwa raga kita sepenuhnya kepada kerajaan, kepada rakyat, kepada Bangsa Johor ini supaya dapat kita melihat negeri Johor ini akan terus maju ke hadapan, insya-Allah. (Dewan bertepuk).

Saya, akhir kata, saya ni tak pandai berpantun tapi adalah sikit. Pantun yang saya nak sampaikan. ‘Kalau merenung bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi, segala teguran jangan diungkit, jadikan renungan kita bersama’. Lagi satu, ini daripada Martin Luther King Junior dia panggil, ‘leader not in love with money, we love leader but not in love with money but in love with justice. Not in love with publicity but in love with humanity’. Itu sahaja, saya membawa usul ini dan saya ucapkan terima kasih. Walbillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Kempas, yang saya kira memberikan suntikan semangat kepada semua. Saya sangat menghormati Kempas ini walaupun tidak lagi memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan tetapi semangatnya, usahanya sangat baik untuk kerajaan, untuk negeri Johor ini. Terima kasih kepada Kempas ya. Kalau saya berada pada kedudukan Kempas, saya belum tentu boleh berucap sepertimana Kempas berucap. Inilah semangat yang harus diikuti, semangat yang perlu dicontohi oleh semua Ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini. Ok, seterusnya saya persilakan Skudai.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Selamat tengah hari, salam sejahtera, salam Harapan Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam Perbahasan Bajet 2020 pada pagi yang mulia ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bersempena dengan Sambutan

Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim Yang Ke-61 pada 22 November yang lalu. Patik ingin mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa supaya Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa sihat dan dapat memimpin rakyat dengan adil dan saksama. Mudah-mudahan dengan berkat kepimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, negeri Johor akan terus maju, moden dan progresif dengan rakyat Bangsa Johor yang bersatu padu, Daulat Tuanku.

Skudai juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah berjaya membentangkan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2020 yang saya rasa satu Bajet, satu Belanjawan yang inklusif dan komprehensif, yang merangkumi 6 Teras Strategik yang menyeluruh dan telah menjaga kepentingan seluruh lapisan masyarakat. Di antaranya, penubuhan Majlis Rendah Karbon Negeri Johor merupakan satu inisiatif yang saya anggap hanya di Johor ada. Iaitu mungkin, di negeri-negeri lain ada juga usaha-usaha ataupun inisiatif rendah karbon ini dilaksanakan di peringkat kerajaan tempatan ataupun di sana sini kluster-kluster yang mana saya lihat tidak bersepadu, tapi hanya di Johor dengan adanya Majlis Rendah Karbon ini segala usaha atau inisiatif rendah karbon ini dapat dijalankan secara syncronized dan selaras.

Yang Berhormat Tuan Speaker, antara usaha-usaha yang boleh dilaksanakan atau boleh dirancang oleh Majlis Rendah Karbon ini adalah seperti yang saya cadangkan pada pagi tadi iaitu pemerdagangan karbon ataupun carbon trading. Ataupun kalau ada keperluan kita boleh melaksanakan cukai karbon. Ini saya lihat ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di mana isu-isu perihal alam sekitar ini, perundangannya adalah tertakluk di bawah Jadual Bersama, Senarai Bersama, minta maaf, Senarai Bersama, Jadual Ke-9. Maka sekiranya kerajaan negeri dapat mengambil inisiatif terlebih dahulu mendahului kerajaan persekutuan, saya nampak perkara ini bukan sesuatu yang mustahil. Bagaimanapun kerja-kerja pelaksanaan cukai karbon ini ataupun carbon trading ini ianya memerlukan persediaan awal terdahulu seperti yang disebut oleh Yang Berhormat EXCO pagi tadi. Bagaimanapun, ini bukan sesuatu kerja yang perlu bermula daripada sifar. Sebenarnya Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia ataupun (IRDA) telah sebelum ni ada inisiatif untuk membuat inventory gases, Rumah Hijau ataupun greenhouse gases Emission inventory di lima PBT di bawah kawasan Iskandar Malaysia. Bagaimanapun saya dimaklumkan bahawa usaha ini kurang mendapat kerjasama daripada Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan. Jadi di sini saya memohon kerjasama dan menarik perhatian daripada kerajaan supaya kita perlu memastikan Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu pada peringkat Kerajaan Tempatan untuk memberi kerjasama yang sepenuhnya untuk sama-sama kita menjayakan usaha yang murni ini.

Sebab saya lihat perkara ini bukan sahaja kita dapat mewujudkan alam sekitar yang lestari, kediaman yang lestari, pada masa yang sama kita dapat menerokai sumber hasil baharu untuk kerajaan negeri supaya kita tidak bergantung kepada semata-mata cukai tanah ataupun pun premium sebab kita tahu tanah merupakan satu sumber yang begitu terhad. Jika sekiranya kita hanya bergantung kepada cukai tanah ataupun premium yang dibayar apabila sesuatu pembangunan itu akan dijalankan, saya lihat kita akan pada satu masa akan datang kita akan menghadapi masalah kewangan yang besar. Jadi tepatlah masanya untuk kita menerokai sumber hasil yang baharu. Di antaranya, boleh kita menerokai atau mengkaji kebolehlaksanaan cukai karbon ini. Kalau tidak dapat melaksanakan cukai karbon pun, setidak-tidaknya sekira kita ada inventori yang baik, inventori yang lengkap, kita boleh menjalankan pemerdagangan karbon ini ataupun carbon trading. Ini pun menjadi satu trend antarabangsa, yang mana kita perlu mendapat keuntungan atau mendapat manfaat daripada trend antarabangsa.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya gembira apabila kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar iaitu sebanyak RM150 juta untuk membangunkan projek Rumah Mampu Biaya. Ini adalah sebagai satu langkah ke hadapan untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto. Bagaimanapun Yang Berhormat Tuan Speaker, saya lihat sekiranya kita

hanya bertumpu kepada pembinaan Rumah Mampu Biaya yang baharu, ianya mungkin tidak cukup untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi pada masa sekarang.

Kita perhatikan ada banyak projek-projek rumah mampu biaya ataupun rumah kos rendah yang lama ianya memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan. Walaupun itu mungkin bukan kerja hakiki SUK Perumahan pada hari ini. Bagaimanapun, apa salahnya kita mengkaji kemungkinan dan sekiranya perlu kita meletakkannya sebagai salah satu tugas ataupun kerja bagi kerajaan yang baharu supaya kita membuat pembaharuan di dalam sistem pentadbiran. Saya lihat sekarang ini di rumah-rumah pangsa yang lama, sebagai contoh di Taman Selesa Jaya, sebagai contoh di Taman Ungku Tun Aminah, di kawasan Skudai dan juga di Pangsapuri Lima Kedai, di mana ada banyak unit-unit yang kosong, kosong bukan sebab tak ada tuan punya, kosong sebab tuan punya dah tidak tinggal di situ. Ada juga banyak unit, ini berlaku di Taman Ungku Tun Aminah, banyak unit rumah pangsa ini di sewakan kepada pihak ketiga. Apabila berlakunya ada kekosongan ataupun ada unit-unit yang disewa kepada pihak ketiga, adakah itu bermaksud bahawa tuan punya rumah tersebut sudah tidak perlu tidak memerlukan rumah tersebut? Kita perlu sedar bahawa Rumah Mampu Biaya ataupun rumah kos rendah semua ini kita rasa Dasar Rumah Rakyat. Ini merupakan rumah subsidi ataupun rumah bersubsidi yang mana sama ada di subsidi oleh kerajaan ataupun di subsidi oleh pembeli-pembeli rumah yang lain. Bagaimanapun, apabila mereka pemilik rumah yang asal mereka tidak memerlukan lagi rumah tersebut mereka telah cuba mencari keuntungan daripada situ. Saya rasa perkara ini perlu dielakkan dan disingkirkan supaya kita jangan mengambil kesempatan daripada bantuan atau subsidi orang lain. Ini mungkin dari asalnya apabila pada peringkat pengagihan rumah-rumah tersebut. Mereka ini sudah tidak memerlukan rumah ini. Ini sebab dulu untuk kerajaan pada zaman rejim lama, pada kerajaan dahulu ada wujudnya satu kuota dinamakan kuota menegakkan kerajaan atau lebih dikenali sebagai kuota politik.

Maka, apabila pengagihan ini dilakukan kepada orang yang ada hubungan politik, ada kaitan dengan parti-parti pemerintah terdahulu, maka mungkin di situ, mungkin di situ wujudnya sesuatu yang tidak betul. Orang yang mendapat rumah tersebut, tidak memerlukan rumah dan inilah berlakunya gejala sewa menyewa unit rumah kos rendah ini. Alhamdulillah, kita dapat tukar kerajaan pada tahun lepas.

Di antara usaha pertama yang dilakukan oleh kerajaan baharu adalah kita telah memansuhkan sistem kuota politik dalam pengagihan Rumah Mampu Biaya. Bagi saya pembaharuan ini sangat signifikan untuk membawa pembaharuan dalam Dasar Rumah Rakyat ini. Bagaimanapun saya rasa itu tidak mencukupi untuk membawa manfaat kepada menjaga kepentingan seluruh rakyat negeri Johor. Maka saya menyeru kepada pihak kerajaan supaya pemantauan yang lebih rapi perlu dijalankan selepas daripada penjualan Rumah Mampu Biaya ini supaya rumah yang dibina ini dengan adanya usaha daripada semua pihak, saya kata, pembinaan Rumah Mampu Biaya ini sebenarnya melibatkan usaha sama daripada semua pihak termasuk kerajaan, termasuk pihak swasta seperti pemaju dan juga pembeli rumah yang lain.

Saya yakin Tuan Speaker apabila Tuan Speaker beli rumah, harga yang Tuan Speaker bayar itu sebenarnya mungkin RM10,000.00 atau RM15,000.00 lebih mahal daripada apa yang sepatutnya dibayar oleh Tuan Speaker. Sebab duit itu digunakan oleh pemaju untuk subsidi projek-projek Rumah Mampu Biaya ini. Jadi, saya harap apabila mendapat bantuan daripada saya kata seluruh masyarakat ini, orang-orang yang dapat rumah mampu biaya ini perlulah bersyukur, perlulah sentiasa mengenang jasa bukan mengenang jasa kepada parti politik, tetapi mengenang jasa kepada pihak-pihak yang telah memberikan bantuan dan jangan sesekali mengambil kesempatan dan mencari keuntungan daripada rumah yang orang telah bantu itu. Jadi, saya harap perkara ini mendapat perhatian daripada pihak kerajaan supaya kita dapat membuat pembaharuan yang betul-betul memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, di antara agenda-agenda ataupun perkara-perkara yang disebut dalam pembentangan bajet oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada Khamis

yang lalu itu, termasuklah usaha-usaha untuk membudayakan Johor ini dengan teknologi terbaharu, dengan teknologi maklumat. Di antaranya termasuk peruntukan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan TVET, aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan STEM, dengan pengajaran robotik dan untuk memastikan segala usaha ini dapat dijalankan dengan lebih lancar. Cadangan untuk menubuhkan satu majlis baharu iaitu Majlis Komunikasi dan Multimedia. Di sini saya ingin memohon pencerahan daripada pihak kerajaan apakah peranan dan fungsi, Majlis Komunikasi dan Multimedia ini? Sebab dalam pembentangan bajet untuk tahun 2019 pada tahun yang lalu, kerajaan telah bercadang menubuhkan Majlis Sains,Teknologi dan Inovasi Negeri Johor ataupun JOSTIC. Di antaranya :

1. Majlis ini akan menasihati kerajaan dalam keutamaan hala tuju dan dasar berkaitan sains teknologi, inovasi dan digital.

2. Merancang menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif penggalakkan sains teknologi inovasi dan digital di Johor.

3. Melantik kumpulan kerja pakar mengikut keperluan bagi memacu pembudayaan sains teknologi, inovasi dan digital di Johor.

4. Menjalin kerjasama dengan agensi dan industri di dalam dan luar negara untuk membudayakan sains teknologi, inovasi dan digital di Johor.

5. Menumpukan sumber peruntukan dan modal insan yang ada dari kerajaan dan swasta bagi membangunkan sains teknologi, inovasi dan digital di Johor serta mengadakan perbincangan dengan pelbagai peringkat masyarakat, akademik, pendidik, usahawan industri dan badan bukan kerajaan dengan singkatan NGO. Untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai pembudayaan sains, teknologi, inovasi dan digital di negeri Johor.

Maka saya lihat mungkin berlakunya pertindihan peranan atau fungsi antara kedua-dua majlis ini, yang saya lihat walaupun untuk JOSTIC sendiri pun agak baharu, dan banyak program-program yang dirancang pada tahun lepas yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini pun masih lagi belum terlaksana, jadi apakah yang dapat ditambah baik oleh Majlis Komunikasi dan Multimedia yang bakal ditubuhkan pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, antara usaha-usaha yang saya lihat yang penting yang dirancang dalam Bajet 2019 yang masih belum dilaksanakan adalah cadangan untuk mewujudkan domain Johorbestari.my, yang mana perkara ini bukan sahaja dapat meningkatkan lagi penetrasi Internet di negeri Johor. Kalau berbanding dengan negeri-negeri yang lain sebenarnya Johor berada di tempat yang keempat di belakang bukan sahaja di Wilayah Kuala Lumpur, bukan sahaja Selangor atau Pulau Pinang tetapi kita berada di belakang Melaka. Negeri Melaka yang keluasannya hanya lebih kurang sama dengan daerah Muar. Tetapi paneltrasi internetnya adalah lebih kehadapan kalau berbanding dengan negeri Johor. Jadi, untuk mengatasi, menangani perkara itu, kerajaan telah merancang pada tahun lepas untuk dilaksanakan pada tahun ini. Iaitu, mewujudkan domain johorbestari.my dan juga johor.my bagi membudayakan penggunaan internet dan juga meningkatkan lagi equipment ataupun perkakasan yang boleh kerajaan bantu dalam membangunkan e-dagang ataupun e-commerce. Apakah pelaksanaanya pada tahun ini? Bukan sahaja pelaksanaan domain johorbestari.my dan juga johor.my ini dapat meningkatkan lagi paneltrasi internet di negeri Johor pada masa yang sama ia juga merupakan satu hasil baru bagi Kerajaan Negeri Johor. Saya rasa keliru dan juga sedikit menyesal apabila usaha murni ini yang dapat meningkatkan, menambahkan hasil kerajaan tidak dilaksanakan dengan begitu cepat. Saya harap perkara ini mendapat perhatian sekali lagi daripada kerajaan supaya dapat kita sama-sama menerokai hasil baru untuk kerajaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, mengikut laporan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SMKMM) penembusan jalur lebar bagi 100 penduduk di Johor dia lebih tinggi

berbanding dengan tahap ataupun piawaian peringkat nasional. Iaitu di Johor, setiap 100 penduduk penembusan jalur lebar adalah 148.1, kalau berbanding dengan statistik nasional iaitu 117.3 pada tahun 2017. Jadi, dengan adanya kita kata, objektif ataupun suasana yang begitu tepat, maka pelaksanaan e-goverment ataupun perkhidmatan atas talian oleh kerajaan merupakan sesuatu perkara yang boleh dilaksanakan di negeri Johor. Tiada alasan sekiranya Johor tidak dapat memberikan perkhidmatan atas talian kepada orang awam. Saya lihat ini bukan sahaja dapat memudahkan orang awam tetapi pada masa yang sama ianya juga dapat meningkatkan keberkesanan dan effectiveness pihak penjawat awam. Pada peringkat Kerajaan Tempatan, sistem e-PBT telah dilancarkan dan dilaksanakan seawal tahun 2012. Bagaimana pun saya lihat dari segi pelaksanaannya, masih kurang memuaskan daripada 24 modul yang terkandung dalam sistem e-PBT yang..

Speaker

Yang Berhormat, ada 7 minit lagi. Silakan.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Takut tak cukup ni. Yang Berhormat Tuan Speaker, tadi kita sebut tentang e-PBT ya, dalam sistem e-PBT ini mengikut perjanjian asal ada 24 modul. Kebanyakannya adalah berkaitan dengan pengurusan Kerajaan Tempatan, seperti pengurusan aset, pengurusan wang amanah, cukai penilaian dan sebagainya. Ada satu modul yang penting yang berkaitan rapat dengan orang awam adalah e-Khidmat, modul e-Khidmat yang mana pembayar cukai boleh melalui modul ini melalui sistem e-PBT ini untuk membayar cukai, cukai pintu, untuk membuat tempahan aset-aset Kerajaan Tempatan iaitu majlis, seperti dewan, gelanggang dan sebagainya dan membuat pembayaran mengikut modul ini. Bagaimanapun, saya perhatikan setakat ini hanya MBJB, Majlis Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Pontian, MPPG Pasir Gudang, Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang dan juga MPKu Kulai sahaja yang menggunakan sepenuhnya modul e-Khidmat ini. Yang lain walaupun ada kebanyakan saya perhatikan telah menggunakan sistem-sistem yang lain daripada bank iaitu, kita dengan izin, payment gateway yang lain yang diberikan oleh bank seperti Maybank2u, seperti JomPay. Walaupun pembayar cukai boleh membayar kompaun ataupun cukai melalui sistem atas talian ini ataupun Internet banking ini, bagaimana pun kita perlu maklum bahawa masih terdapat perbezaan di mana pembayaran melalui gateway lain dan melalui modul sistem e-Khidmat ini. Sekiranya dibayar melalui payment gateway yang lain, sebenarnya pembayar cukai tidak dapat tahu, tidak dapat trace rekod, rekod lama mereka bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan. Maka, ini adalah satu kelemahan. Sekiranya kita tidak ada program ataupun sistem e-PBT ini kita tidak ada masalah, selagi ada online payment itu satu kebaikan, dah cukup baik dah. Bagaimanapun, sekiranya adanya modul e-Khidmat ini ataupun sistem e-PBT ini yang mana kita telah membelanja sejumlah RM41.74 juta di mana 1/4 daripadanya ditanggung oleh kerajaan negeri yang lain ditanggung bersama oleh 15 PBT yang lain. Duit berpuluh-puluh juta telah dibelanjakan, saya tidak faham dan saya tidak nampak apa rasionalnya sekiranya modul ataupun sistem e-PBT ini tidak dimanfaatkan dengan baik. Sebab saya lihat ini merupakan satu pembaharuan yang begitu penting. Bukan sahaja memudahkan orang awam tetapi ianya juga membuat manfaat dari segi menambah baik kerja-kerja urusan oleh Kerajaan Tempatan itu sendiri. Jadi, saya harap perkara ini dapat ditegaskan ataupun ditekankan oleh kerajaan kepada Kerajaan Tempatan supaya perlaksanaan e-PBT yang menelan berpuluh-puluh juta ringgit itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Tempatan.

Di sini saya juga ingin mengucap tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Speaker dan juga Pejabat Jurutulis kerana dapat mewujud semula portal laman Dewan Negeri yang telah hilang sekian lama. Untuk zaman teknologi maklumat ini, saya lihat perkara itu penting, perkara itu penting untuk supaya kita betul-betul membudayakan e-Konsep, e-Kerajaan ini, e-Government. Yang mana sekarang pengurusan soalan dan juga hansard-hansard, Penyata Rasmi Dewan boleh di dapati di laman portal Dewan Negeri Johor. (Dewan bertepuk). Baru sedar nak tepuk, sepatutnya awal-awal dah tepuk dah.

Bagaimana pun, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya rasa langkah ini perlu dipercepatkan lagi. Walaupun saya lihat dengan adanya laman Dewan Negeri Johor ini, jurang di antara kita dengan orang awam dapat dirapatkan sedikit. Bagaimanapun, masih lagi belum cukup. Saya rasa siaran langsung Dewan dijalankan pada masa sekarang adalah tepat masanya.

Jadi, saya harap dalam bajet untuk tahun hadapan tambahlah satu perkara iaitu kita mengkaji dan melaksanakan siaran langsung perbahasan ataupun persidangan Dewan yang mulia ini.

Sebenarnya Yang Berhormat Tuan Speaker, saya sendiri saya mengikuti persidangan Dewan Negeri Johor seawal pada tahun 2008. Masa itu bukan duduk sebagai Ahli Dewan Negeri tetapi...

Speaker

Setengah, setengah minit lagi.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Minta lebih sikit, supaya dapat saya puji sikit usaha Tuan Speaker ini.

Speaker

Cukuplah tu cukup.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Tapi masa itu sebagai pemerhati, bagaimanapun, saya rasa sentiasa rasa boring ataupun bosan dengan perbahasan yang berlaku dalam Dewan ini sebab saya perhatikan ada banyak di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat ini mereka hanya, mereka bukan berbahas, mereka hanya memberikan syarahan. Kadangkala ada juga Ahli-Ahli Yang Berhormat mungkin mereka ambil daripada pelajar-pelajar SPM teks syarahan itu dan baca di dalam Dewan yang mulia ini. Jadi saya rasa untuk memperbetulkan keadaan ini atau menambah baik mutu perbahasan dalam Dewan yang mulia ini, antaranya adalah siaran langsung Persidangan Dewan yang mulia ini. Sebab sekiranya kita yang berada di sini kita maklum dan kita tahu ada di kalangan pengundi-pengundi kita yang di luar duduk di hadapan monitor, duduk di hadapan komputer mereka telah memerhatikan perbahasan kita, memerhatikan persidangan Dewan yang mulia ini sudah tentu mereka akan sentiasa terjaga, sudah tentu akan menjaga mutu perbahasan mereka dalam Dewan yang mulia ini.

Jadi, Yang Berhormat Tuan Speaker, pada 9 Mei yang lalu rakyat telah memberi amanah kepada Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baru, di kalangannya mungkin ada yang tidak suka kepada kerakusan, ketirisan oleh parti lama, oleh rejim lama itu. Mungkin ada yang tidak suka pasangan kleptokrasi itu, mungkin ada yang yakin kepada Pakatan Harapan. Bagaimanapun saya rasa sebahagian besar ataupun hampir semua yang mengundi kita untuk menubuhkan kerajaan adalah supaya kita dapat membawa pembaharuan ataupun agenda-agenda reform dalam sistem pentadbiran. Maka, saya harap dan saya yakin kerajaan Pakatan Harapan perlulah sentiasa dan akan sentiasa komited terhadap agenda-agenda untuk membawa pembaharuan dalam sistem pentadbiran dan saya yakin insya-Allah, kita dapat mengekalkan di sini dalam PRU akan datang sekiranya kita terus komited dan menggerakkan lebih banyak pembaharuan dalam sistem pentadbiran.

Speaker

Simpulkan Yang Berhormat, simpulkan.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Dengan itu, sekian terima kasih. Skudai mohon menyokong.

Speaker

Terima kasih kepada Skudai. Saya ingin memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menyediakan Team Kesihatan pagi program Saringan Kesihatan untuk ADUN-ADUN di bilik jamuan ADUN bermula hari ini sehingga 26 November ya, jemput semua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang. Sekian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.10 tengah hari.

Persidangan disambung pada jam 2.30 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Dijemput YB Benut.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam 15,086 (Dewan bertepuk). Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker. Boleh ya cakap salam 15,086. Tak marah ya.

Timbalan Speaker

Jelaskan maksudnya.

Yang Berhormat, itu orang kata dah terang lagi bersuluh, Yang Berhormat.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya tertunggu-tunggu juga sewaktu pembentangan bajet agaknya adalah sedikit ucapan tahniah ke, kepada Barisan Nasional. Tak ada, Yang Berhormat Puan Speaker. Jadi, mungkin agaknya Yang Berhormat Puan Speaker, selepas saya berucap ni, Yang Berhormat mungkin agaknya akan mengambil tugas Tuan Speaker. Tetapi walau bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Wakil-Wakil Rakyat daripada Barisan Nasional yang telah memenangkan calon kita di Tanjung Piai (Dewan bertepuk). Saya juga mengambil kesempatan ingin mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Daerah, Penolong-Penolong Pegawai Daerah dan juga pegawai-pegawai yang bertugas daripada kalangan JCS sebagai returning officer, assistant returning officer dengan izin, petugas-petugas SPR, termasuklah polis-polis dan lain-lain kakitangan yang terlibat dalam menjayakan Pilihan Raya Kecil di Tanjung Piai baru-baru ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah SWT pada petang ini diberi kesempatan untuk sama-sama membahaskan Belanjawan Johor 2020, sekurang-kurangnya satu belanjawan yang lebih baik berbanding dengan belanja kawan federal baru-baru ini. Saya rasa amat teruja dengan belanjawan yang dibentangkan, cuma mengharapkan agar janganlah tempoh masa pembentangan itu sebagai ukuran. Kalau Menteri Besar yang lalu, lebih daripada 2 jam, Menteri Besar yang ini pun hampir 3 jam. Janganlah masa itu dijadikan ukuran, sebaliknya pengisian bajet itu lebih penting.

Sebelum saya pergi jauh Yang Berhormat Puan Speaker, saya tadi tertarik juga apabila Yang Berhormat Kempas yang mencadangkan Belanjawan Johor untuk kita bahaskan, Yang Berhormat nampaknya merungut, merungut di awal ucapan beliau. Merungut dengan cerita-cerita lama, hutang KPRJ yang telah tidak ditangani dengan betul. Benda ini dah berlalu, Yang Berhormat, perkara itu telah diatasi dengan pembangunan dan perkembangan-perkembangan baharu dengan adanya Forest City, dengan adanya Zon Antarabangsa dalam pembangunan.

Itu cerita-cerita lama, Yang Berhormat Puan Speaker. Waktu itu pun, Yang Berhormat Kempas pun berada bersama-sama dengan kita, cuma dalam sejarah, Yang Berhormat Kempas pun ada berkata, bahawa dalam sejarah beliau, dia tak pernah jadi pembangkang. Betullah tu, saya pun kadang-kadang nak belajar juga, minta kalau boleh Yang Berhormat Kempas dapat turunkan sikit ilmu macam mana cara nak melompat-lompat ni. Kita ni di sini tak berapa reti nak melompat-lompat ni. Jadi, dalam pembentangan bajet tadi, sokongan yang dibawa termasuklah Skudai juga, saya cuma harap janganlah Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga EXCO-EXCO ni, terasa seolah-olah anak murid kepada beliau. Kerana pada saya, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Jadi, saya rasa Menteri Besar dan EXCO-EXCO yang ada, ada kebolehan masing-masing.

Terlebih dahulu Yang Berhormat Puan Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk sempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada 22 hari bulan semalam, dua hari lepas, patik merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat moga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa

diberi kesihatan, kesejahteraan, bertambah-tambah daulatnya. Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Tunku Mahkota Johor kerana dengan tegas ingin melihat program pemuliharaan sungai-sungai di Johor dikendalikan dengan cekap sehingga terpaksa mengorbankan anugerah pasukan JDT bagi tujuan tersebut.

Sepatutnya, sebagai sebuah kerajaan yang berprestasi tinggi, amat wajarlah untuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar meneruskan pemberian imbuhan RM500,000.00, yang dipulangkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota kepada kerajaan negeri tempoh hari. Mesti bagi balik kepada JDT, kerana pasukan JDT telah mengharumkan nama negeri kita. Apa yang dilakukan oleh pasukan JDT bukanlah satu perkara yang berlaku hari-hari. Ini satu pencapaian yang begitu membanggakan kita sebagai rakyat Johor, jadi bila dipulangkan balik itu, itu hasrat ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota. Tapi sebagai kerajaan yang bertanggung jawab kita harus tegas, kita rasa bahawa pemain JDT layak menerima anugerah yang diberikan oleh kerajaan negeri. Tak banyak mana pun, RM500,000.00. Jadi, dengan itu saya menyarankan supaya kerajaan negeri terus menganugerahkan RM500,000.00 ni kepada pasukan JDT.

Yang Berhormat Puan Speaker, sewaktu dibentang Bajet 2019 yang lalu, yang membawa Tema Menerajui Harapan, Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari. Sukacita saya melaporkan, bahawa rakyat masih tidak merasa adanya perubahan seperti yang dicanangkan. Malah rakyat sudah mula sedar, Kerajaan Pakatan Harapan langsung tidak berupaya untuk menggalas Aspirasi Bangsa Johor selepas PRU 14. Selain daripada janji kosong yang digula-gulakan dan keputusan-keputusan dibuat yang sering kali berubah-ubah dan u-turn, tapi tadi Yang Berhormat Kempas marah pula kita guna perkataan u-turn ni. Jadi, Yang Berhormat Puan Speaker, u-turn ni contoh macam penutupan Lynas, dulu kata suruh tutup Lynas, lepas itu sekarang teruskan pula. Jadi apa tu, itu u-turn ke round about ke apa? Di Johor, had umur belia kita dah putuskan kepada 30 tahun, dah buat keputusan, pastu bila federal kata 40 tahun, pusing lagi, 40 tahunlah pula. Jadi, apa sebenarnya tu, itu tak boleh ke, maksudnya u-turn tu. Jadi, janganlah pula Yang Berhormat Kempas terasa. Kita adalah, banyak lagilah, Yang Berhormat Puan Speaker, pelantikan-pelantikan, janji-janji dalam manifesto, itu semua akhirnya kita terpaksalah melihat itu sebagai satu perkara yang bersifat u-turn.

Kemudian, tadi kita ni bila melihatkan Belanjawan Johor 2020 ni, kita maka tak terperanjat sehingga Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2019 – 2030, masih tak lagi dapat disiapkan. Dalam proses, dah hampir 2 tahun, Yang Berhormat. Tak siap lagi satu pelan. Saya nak bagi tahu kenapa saya menekankan perkara itu, kerana itulah punca utama kelemahan dalam Bajet 2020, that is the, itulah kuncinya, itulah punca utama kelemahan dalam Bajet 2020 ini. Kerajaan terus mencadangkan pelan demi pelan, yang entah ke mana perginya pada akhir nanti.

Dalam Bajet 2019, ada 5 pelan, 5 pelan telah dirangka. Bajet 2020, masih berpelan lagi, ada 6 pelan, malah 3 Majlis Jawatankuasa atau Jawatankuasa dicadang untuk penubuhannya. Pelan lagi, Yang Berhormat. Jadi, dan yang paling penting sebagai contohlah, sebagai contoh Yang Berhormat eh, siapa anggota dalam Majlis Ekonomi Negeri Johor? Itu pelan dulu, satu majlis yang nak ditubuhkan, yang telah saya anggap menilai Belanjawan 2020. Mampukah pelan-pelan kajian yang diumumkan ini menguji dasar-dasar ataupun polisi-polisi yang sedia ada? Itu tujuan kalau pun nak buat pelan. Sama ada ianya mampu menguji dasar-dasar dan polisi yang sedia ada. Bolehkah rakyat di luar sana merasa secara terus hasil dapatan daripada kajian-kajian kerana semua ini dibayar oleh rakyat, Yang Berhormat. Semua ini dibayar oleh rakyat. Saya juga nak bagi contoh, kalau dalam bajet belanjawan kita, belanjawan kita pada muka surat 29, kita masih lagi akan mengadakan kajian pengurusan jeti sebagai contoh. Kenapa harus nak buat kajian Yang Berhormat? Kita dah ada jeti lama dah dekat Johor ni. Kita ada jeti yang sama di Iskandar Puteri, kita ada jeti yang sama di Tanjung Puteri, kita ada jeti yang sama di Belungkor? Dah ada banyak contoh, kenapa harus ada lagi kajian?

Timbalan Speaker

Mungkin di Jeti Batu Pahat ke?

Di Batu Pahat pun dah ada jeti. Bukankah ini akhirnya akan mengambil masa, membuang masa kita, kita tidak punya masa Yang Berhormat. Ini adalah negeri Johor, bukan negeri-negeri lain. Dan yang paling penting yang macam saya kata tadi tu lah dalam anggota Majlis Ekonomi, siapa anggota, siapa yang kita dah lantik? Jadi, bukankah kita sepatutnya menilai strategi dan inisiatif dalam usaha untuk merealisasikan sesuatu pelan atau belanjawan. Kita mencari segala bentuk inisiatif dan juga strategi-strategi yang nak diguna oleh kerajaan dalam nak menjayakan Belanjawan 2020.

Saya juga ingin bertanya dengan pihak kerajaan negeri sejauh mana pencapaian terhadap pelan-pelan yang dirangka dalam Bajet 2019? Sekurang-kurangnya beri kita gambaran, di mana kejayaannya, apakah pencapaian setakat ini, apakah kaedah dan instrumen yang digunakan oleh kerajaan dalam mengukur keseimbangan pembangunan Johor? Adakah ini yang dimaksudkan Pakatan Harapan dengan menjadikan Johor Berprestasi Tinggi.

Yang Berhormat Puan Speaker, sayugia saya ingatkan bahawa referendum rakyat Johor di Tanjung Piai baru-baru ini, jelas menyatakan bahawa mereka menolak Pakatan Harapan. Itu juga membawa erti bahawa kerajaan gagal untuk menjadikan negeri ini berprestasi tinggi tetapi sebaliknya ia adalah biasa-biasa aje. Kalau pernah Mantan Perdana Menteri dulu sebut, biashe biashe aje. Dan malang telah gagal menjadikan Bangsa Johor lebih bestari mahupun lestari. Sebaliknya rakyat dan pembangunan Johor menjadi lesu, tertangguh, terasing daripada perubahan pembangunan serantau mahupun global.

Kepada kerajaan, Bajet 2020 sepatutnya menjadi bajet yang dipinda. Ini mengambil kira 15,086 majoriti di Tanjung Piai itu sebagai suara hati rakyat, Yang Berhormat. Sebagai suara hati rakyat yang langsung tidak berpuas hati dengan kerajaan yang biashe biashe ini. Namun, saya percaya buku bajet yang cantik tu, semuanya telah disiap sebelum PRK Tanjung Piai lagi. Jadi, bila tidak ada apa pun yang nak dipinda, itu bererti bahawa kerajaan tak fikir langsunglah tentang orang Tanjung Piai ni, apa yang nak difikir oleh rakyat, apa yang diminta oleh rakyat, apa yang disuarakan oleh rakyat tak penting (Dewan bertepuk). Tak penting kepada kerajaan, kita hanya buat apa yang kita anu, seolah-olah dulu sebelah sana yang duduk sebelah sini mengatakan sudah sampai masa kerajaan menyedari bahawa kerajaan tidak lagi tahu segala-galanya, kena dengar cakap rakyat, habis tu, kenapa siapkan buku bajet sebelum siap Tanjung Piai? 15,086 majoriti itu jelas suara rakyat. Pinda, sepatutnya tapi kerajaan tak buat. Dan malah, Yang Berhormat, saya nak ingat sekali lagilah macam jawapan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar pagi tadi pun dah mengatakan bahawa apa yang dijanjikan akan tetap di kota. Terima kasih ke saya bagi pihak rakan-rakan di pembangkang ini di atas jaminan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tapi dia kata kita pula yang ambil mileage, nak ambil mileage macam mana Yang Berhormat? Dalam kempen kita sewaktu di Pilihan Raya Tanjung Piai, kita hanya mengatakan kepada pengundi apa yang diberi oleh kerajaan, ambil. Tapi, undi jangan. Kita hanya kata itu saja. Habis rakyat setuju dan bagi kita apa keputusan yang sedemikian, jadi banyak Yang Berhormat, semuanya dah tertera daripada sekolah di pedalaman, di hujung, di Andek Mori sana dengan peruntukan yang berjumlah RM14.75 juta ini, saya percaya kerajaan wajib tunaikan. Wajib tunaikan, janganlah hukum rakyat Tanjung Piai yang telah mengundi calon pembangkang dengan tidak menunaikan janji yang ditaburkan pada PRK tersebut. Janji adalah tetap janji. Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker.

Yang Berhormat Puan Speaker, negeri Johor tidak sepatutnya membangun secara kebetulan. Apatah lagi menyerah sahaja perjalanan pembangunannya kepada keadaan semula jadi mahupun kebetulan. Johor perlu dibangunkan sebagai sebuah negeri yang lebih baik melalui kehebatan perancangan yang teliti, terarah dan tersusun. Tidak tentang hal-hal berkaitan pertumbuhan ekonomi negeri difikirkan begitu sahaja tanpa ada pertimbangan, tanpa ada perancangan yang teliti. Tidak ada yang berlaku di negeri Johor ini atau tidak boleh apa yang berlaku di Johor ini untuk ianya berlaku secara kebetulan, tak boleh. Malah, saya membawa satu harapan bahawa Johor is a better state by design, dengan izin. Sepatutnya menjadi pembawakan kita semua. A better state by design, dengan izin perlu

melihat beberapa perkara yang penting, kalau boleh saya katakan sebagai contoh, katakanlah kawasan FELDA Yang Berhormat Puan Speaker, kawasan FELDA di Johor adalah dikategorikan sebagai desa membangun. Tidak seperti FELDA di Pahang ataupun FELDA di negeri-negeri lain. Tapi FELDA di Johor adalah desa membangun. Maka sepatutnya kerajaan negeri tidak perlu lagi, sebagai contoh, tidak perlu lagi menimbang-nimbang macam muka surat 32 dalam Bajet, selain itu saya bacakan Yang Berhormat Puan Speaker, “Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan pengurniaan sebanyak 4,300 lot tapak rumah bagi Generasi Harapan Baharu FELDA.” Bagi sahaja. Tak payah timbang-timbang, bagi sahaja kepada yang layak. Yang layak sepatutnya mendapat tapak-tapak rumah ini untuk generasi yang dinamakan Generasi Harapan Baru FELDA ini bagi sahaja, tak payah nak timbang-timbang, mereka layak, bagi. Kerana itu adalah merupakan kawasan desa membangun yang harus diberikan insentif yang secukup dan seadanya.

Bagi menyerlah segala potensi yang ada. Ada beberapa prinsip Yang Berhormat Puan Speaker, kerana di FELDA di Johor ini tanah kampung kebanyakannya hak milik bumiputera yang sangat berkepentingan untuk dikekalkan. Kedua, banyak kampung di Johor mempunyai elemen sejarah dan warisan kebudayaan silam yang harus dikekalkan identitinya. Dan ketiga, perlu pengekalan ekologi dan alam sekitar sebagai imbangan kepada pembangunan bandar yang semakin pesat. Keempat, urbanisasi tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik untuk semua penduduk. Kehidupan di kampung di kawasan FELDA sebagai contoh, kehidupan di kampung yang kekal lestari dapat membantu dalam menangani kos sara hidup yang tinggi di bandar. Dan akhirnya, ekonomi masa hadapan yang berlandaskan teknologi digital tidak memerlukan aktiviti ekonomi tertumpu hanya di kawasan bandar ataupun pinggiran bandar. Jadi, oleh itu, peluang penjanaan pendapatan tidak memerlukan urbanisasi, sehingga merosakkan alam semula jadi dan identiti sebuah desa membangun.

A better state by design juga berkehendakkan agar kerajaan negeri menjelaskan kelangsungan, sebagai contoh industri air Johor. Saya musykil, masihkah kerajaan berhasrat nak menubuh syarikat air yang baru? Sebagai contoh, dulu dalam Bajet 2019, Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang lepas ada mengatakan berhasrat untuk menubuh syarikat air yang baru. Tidakkah kerajaan sedar ianya bukanlah satu langkah yang bijak, malah membazir Yang Berhormat Puan Speaker. Industri air di Johor amat memerlukan perluasan sumber. Ia tidak sepatutnya terus bergantung kepada sumber air permukaan semata-mata. Jika negara jiran kita contohnya, boleh ada tiga hingga empat sumber air, mengapa tidak Johor? Ada recycle water, renew water, underground water, kenapa tidak kita? Kenapa harus kita hanya bergantung kepada sumber air permukaan sahaja? Pelaburan yang begitu besar, bajet dan juga tumpuan kepada perkara-perkara yang saya kira jangan terlepas pandang akan keperluan untuk kita perluaskan sumber air kita.

Pada masa yang sama, cakap pasal air juga, kerajaan negeri berhasrat untuk memiliki loji rawatan air di Kahang. Hasrat yang saya sokong. Oleh yang demikian, perkukuhkan BAKAJ. Tambah lagi tenaga profesionalnya. Bawa masuk pakar-pakar yang perlu, kerana bukan hanya kerajaan perlu mengendalikan loji baru tetapi kerajaan juga perlu selesaikan masalah loji lama di Gunung Pulai yang masih belum dimuktamadkan lagi pemilikannya. Jadi dengan itu, apabila BAKAJ dapat diperkukuhkan maka pemilikan loji kerajaan negeri hasrat untuk memilikinya adalah sesuatu yang baik untuk negeri Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, a better state by design ini juga turut menuntut beberapa perkara, kalau kita hendak betul-betul jadi negeri yang berprestasi tinggi. Pertama, dalam menangani kos sara hidup, kerajaan negeri harus merangka semula klasifikasi kumpulan B40. Tadi dalam sesi soalan lisan saya pun dah bangkitkan kepada Yang Amat Berhormat, tapi dalam soalan tambahan saya Yang Amat Berhormat tidak menjawab. Saya minta supaya diklasifikasikan semula B40 ini atas kepentingan negeri Johor. Kerana saya mengatakan B40 yang berada di Mersing tak sama dengan B40 yang ada di Johor Bahru. B40 yang ada di Tangkak, tak sama dengan B40 yang ada di Johor Bahru. Jadi, dengan itu, untuk menjayakan wawasan kemakmuran bersama itu, memerlukan kita melihat semula supaya keadilan pengagihan jurang dari segi antara yang ada dengan yang tak ada itu

dapat dikurangkan. Yang Amat Berhormat menjelaskan bahawa tidak perlu diklasifikasikan kerana kita akan bawa pembangunan ke daerah-daerah yang kurang membangun. Sampai bila Mersing nak membangun seperti Johor Bahru Yang Berhormat Puan Speaker? Sampai bila Tangkak nak maju seperti apa yang kemajuan yang kita tengok di Pasir Gudang, di Kulai sebagai contoh. Mana mungkin B40 di Kulai boleh sama dengan B40 di Tangkak ataupun di Labis dan sebagainya. Perlu diklasifikasikan semula. Jadi Yang Berhormat, untuk tujuan itu, maka sekiranya kita ingin melihat lebih ramai lagi golongan B40 ini berhijrah kepada middle class society, golongan pertengahan ini, maka itu adalah satu pra syarat yang amat penting dalam kita nak menjayakan wawasan kemakmuran bersama itu tadi. Shared prosperity, itu Yang Berhormat dengan izin.

Kedua, sebagai a better state by design ini, dengan izin, kualiti pendidikan harus kita perkasakan dan kita memberi fokus kepada merekonstruksi semula silibus pendidikan agama Islam, Johor. Dalam mendepani cabaran globalisasi dan juga pemikiran, pemikiran LGBTQ dan juga liberalisme contohnya sudah tiba masa jati diri dan identiti Melayu Johor diperkuat dengan melihat kepada substance bukan kepada kosmetik semata-mata. Bukan luaran semata-mata Yang Berhormat Puan Speaker. Ini sepatutnya menjadi langkah pertama dan paling penting dalam nak melahirkan bangsa Johor yang bestari seperti yang diharapkan oleh kerajaan hari ini.

Ketiga Yang Berhormat, perlunya projek infrastruktur yang berskala besar untuk limpahan ekonomi negeri. Kenapa tangguh HSR? Kenapa berdolak-dalik dalam soal RTS? Kita nak menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor tetapi kenapa berdolak-dalik, kenapa harus tidak teruskan projek RTS? Kenapa harus kita tangguh projek High Speed Rail ini yang kita tahu merupakan satu projek pembangunan tiga suku daripada pembangunannya memberi limpahan kebaikan kepada kita di Johor. Kenapa harus kita biarkan ianya ditangguhkan dan kita lihat ianya berlalu begitu sahaja? Kita mahukan kawasan luar daripada Johor Bahru juga membangun. Kita mahukan juga kawasan luar Johor Bahru ini mendapat tempias dari pembangunan Johor Bahru terutama sekali dalam merapatkan keterhubungan kawasan Iskandar Malaysia dengan kawasan-kawasan yang lain.

Selain daripada itu, Yang Berhormat, selain daripada HSR, selain daripada RTS, apa salahnya Johor perjuangkan lebuh raya PLUS kita itu, daripada Yong Peng ke Johor Bahru, harus jadi enam lorong, kenapa harus kekal empat lorong sahaja, kenapa tidak ada bunyi langsung di pihak kerajaan untuk memastikan kita dapat tambah satu lorong lagi? Pergi dan balik menjadikan ianya enam lorong. Ini bakal mengelak kesesakan bukan hanya pada musim perayaan, juga pada hari-hari biasa.

Bukan itu sahaja Yang Berhormat Puan Speaker, kita patut ada Link Ke-3 untuk menghubungkan negeri Johor dengan Singapura. Sebagai sesuatu perkara yang dapat mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor. Penyelesaian walaupun culvert kata Yang Berhormat EXCO Kerja Raya, culvert baru akan digantikan untuk memastikan air daripada timur boleh pergi ke barat di Tambak Johor, itu bukan harapan kita. Harapan kita ialah untuk menggantikan Tambak Johor itu dengan jambatan. Itu hasrat kita dengan menggantikan culvert itu akan hanya melengahkan sahaja usaha untuk mencari persetujuan bersama antara negara jiran dengan kita. Supaya dapat kita gantikan kerana Tambak Johor sudah tidak lagi sesuai digunakan sebagai kaedah penghubung antara dua negara.

Keempat Yang Berhormat, selain daripada yang saya sebut tadi...

Timbalan Speaker

YB Benut, sila gulung.

…konteks dalam mengurus alam sekitar lestari terutama sekali saya nak bertanya. Status Taman Negara Pulau Kukup, ini perkara-perkara yang dibangkitkan dalam ini. Tadi YB kempas pun dah cakap, janganlah kerja kita ini mengkritik sahaja, buatlah cadangan yang baik-baik, ini saya nak buat cadangan lah Yang Berhormat, nak bertanya ni apa jadi dengan Pulau Kukup yang dikatakan Taman Negara. Saya ingat dibawa satu usul khusus dalam Dewan ini, untuk membawa satu usul

bahawa kita akan kekalkan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara, ingat tak Yang Berhormat? Tapi, apa pelannya, apa pembangunan yang dibawa ke Pulau Kukup? Itu sebagai contoh Yang Berhormat.

Jadi, Yang Berhormat Puan Speaker, a better state by design juga menuntut supaya Iskandar Malaysia ini harus diberi nafas baru. Dah 2025 tamatlah Iskandar Malaysia, selesailah, dah lengkaplah pembangunannya, tidak berapa tahun sahaja Yang Berhormat. Tetapi apa yang kita lihat, lebihan hartanah kediaman, komersial, industri yang tidak terjual di Iskandar Malaysia terus limpahan, lebihan macam EXCO sebut tadi, limpahan hartanah yang begitu berleluasa, pelaburan catalyst seperti Educity, Medini City, Legoland, Iskandar Malaysia Studio yang sedang menghadapi kesulitan memerlukan intervensi strategik dan rasional oleh kerajaan. Yang Berhormat Khazanah Nasional menjual aset-asetnya menyebabkan Legoland Malaysia berkemungkinan dijual juga, jangan Yang Berhormat. Kenapa harus dijual? Itu kekuatan kita. Pinewood dah keluar dah. Kita hanya tinggal bangunan yang tidak dapat digunakan sepenuhnya. Itukah wajah Iskandar Malaysia yang kita hendak pada hari ini?

Jadi, Yang Berhormat Puan Speaker, kita kena ambil peluang sementara negara jiran kita Singapura pada tahun depan akan menjangkakan pertumbuhan ekonominya hanya pada kadar 0 hingga 1%. Kelembapan ekonomi kepada negara jiran kita, harus kita ambil sebagai peluang untuk kita gunakan sepenuh-penuhnya untuk meningkatkan pertumbuhan dan kerancakan ekonomi di negeri kita.

Akhirnya a better state by design tidak akan berfungsi sepenuhnya jika institusi demokrasi tidak diperkasakan. Ini lagi penting Yang Berhormat, wrap up semua sekali apa pun saya kata, apa pun saya cadangkan tetapi kalau kita tidak memurnikan demokrasi dalam negara, ianya tidak akan menjadikan kita negeri a better state kerana apa? Prinsip semak dan imbang wajib diangkat oleh kerajaan negeri seserius mungkin.

Pengerusi PAC negeri sepatutnya dari ahli pembangkang, namun tidak di Johor. Tidak di Johor, ini amatlah menghina demokrasi. Dewan Undangan Negeri juga harus dipertingkatkan lagi kemuliaannya dengan mencontohi keterangkuman dan juga semangat demokrasi Dewan-Dewan Undangan Negeri-Negeri lain, contoh bolehlah ikut Selangor pun boleh, Sarawak pun boleh. Tak apa kita ikut dia, sebagai kaedah untuk meningkatkan lagi pendemokrasian dalam Dewan Undangan Negeri, itu perlu kita lakukan Yang Berhormat, selagi itu kita tidak lakukan apa jugalah yang saya perkatakan, apa jugalah saya dan rakan-rakan perjuangkan, ianya tidak akan pergi ke mana kerana, kerajaan tidak mengamalkan semak dan imbang itu sebagai satu proses pendemokrasian.

Jadi, Yang Berhormat Puan Speaker, sesungguhnya negeri Johor tidak punya masa untuk berlengah-lengah...

Timbalan Speaker

Saya bagi 1 minit lagi ya.

Saya dekat nak habis ni. Tidak ada masa untuk menunggu bayi baru lahir ini bertatih, berjalan dan berlari. Jika itu berlaku, Johor akan terus tertinggal dan tidak relevan lagi. Oleh yang demikian a better state by design harus menjadi tata kelola kita bersama. (Dewan bertepuk). Perlu Yang Berhormat. Jadi, untuk itu, sebelum saya sekali lagi tadi Yang Berhormat Parit Yaani tidak ada masa Yang Berhormat Kempas sebut dia merungut pasal janda, dia merungut sungguh. Konsep kita Yang Berhormat, konsep kita duda didahulukan, janda diutamakan. Itu konsepnya.

Timbalan Speaker

Bagusnya.

Ya bagus. Jadi kita tidak merungut, kita tidak merungut. Kita duda kita dahulukan, janda kita utamakan. Maka penutup bicara, negeri Johor adalah rumah kita. Suka saya memikirkan ia adalah tempat untuk hati yang gembira dan senang, tenang sentiasa. Maka itulah yang perlu kita lakukan dengan

keikhlasan hati dan sepenuh raga. Perkara yang saya bangkitkan bukanlah berkenaan undang-undang atau peraturan semata-mata. Ianya merupakan idea-idea besar dan persoalan-persoalan yang mustahak untuk kerajaan pertimbangkan. Agar ianya dapat dilakukan mengikut cara kerajaan dan cara Johor. Jadi itulah Yang Berhormat Puan Speaker, terima kasih di atas peluang yang diberikan. Saya hendak jadi ketua pembangkang yang baik, jadi masa yang dihadkan itu dah cukup 30 minit. Jadi, terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker. Dengan ini saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri di atas pembentangan Bajet 2020. Sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih diucapkan kepada YB Benut. Selain daripada kritik juga memberi pandangan yang bagus. Seterusnya saya jemput YB Kahang.

Salam sejahtera, salam perpaduan, salam muafakat Johor Yang Berhormat Speaker. Terlebih dahulu patik merafak sembah mengucapkan setinggi tahniah sempena ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim pada 22 November yang lepas. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat walafiat, sejahtera dan bahagia.

Yang Berhormat Speaker, terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kerana memberi saya peluang untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada kali ini. Dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana pertama kali telah pun membentangkan Bajet Kerajaan Negeri Johor. 183 titik fokus yang telah pun dibentangkan dan jika dibandingkan pada tahun lepas 207, tahun ini 183 tapi walau bagaimanapun, kita rasa 183 ini terlalu banyak dan sama ada kerajaan negeri dapat menyelesaikan semua titik fokus itu menjadi persoalan. Kerana manifesto Pakatan Harapan pun banyak yang belum selesai. Jadi, 183 kalau kita tengok lepas pun, ada lagi 13 touch point yang tidak lagi diselesaikan masih lagi dalam tindakan awal. Jadi, walau bagaimanapun kita berharap supaya bajet ini akan serba sedikit titik fokusnya akan dapat diselesaikan oleh kerajaan pada hari ini. Dan, bajet yang dibentangkan pada tahun ini adalah bajet surplus. Tahniah ya. Tetapi kita masih lagi ingat penggal lepas apabila kerajaan Barisan Nasional membentangkan bajet surplus, macam-macam tohmahan mengatakan bahawa creative auditing, creative accounting, kita tipu, kita sembunyikan fakta, macam-macam. Jadi pada hari ini kerajaan Pakatan Harapan juga membentangkan bajet surplus ini jelas membuktikan bahawa kita tidak tipu. Memang kerajaan negeri Johor sejak beberapa tahun yang lepas ini memang membentangkan bajet-bajet surplus. Dan ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan negeri Johor yang inklusif, kalau hari ini kerajaan Pakatan Harapan mendabik dada dengan kejayaan mereka untuk mentadbir negeri ini, jangan, tidak boleh dinafikan itu juga adalah kerana kerajaan Barisan Nasional sebelum ini (Dewan bertepuk), dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional.

Yang Berhormat Speaker, pada muka surat 120 bajet ini ada dinyatakan bahawa kerajaan negeri ingin memperkasakan badan bukan kerajaan, syabas dan tahniah kerana kerajaan negeri sedar peranan dan juga fungsi badan bukan kerajaan. Tapi saya harap badan bukan kerajaan, NGO-NGO yang dibantu ini, ialah NGO yang aktif, NGO yang sebenarnya boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi, dan bukannya NGO yang pro PH sahaja.

Yang Berhormat Speaker, memang tidak dapat dinafikan selama sekian lama kerajaan Barisan Nasional memerintah, kalau kita lihat sama ada dari segi kepimpinan NGO-NGO, persatuan-persatuan, masjid, surau, tokong, kuil, PIBG, LPS, KRT dan sebagainya kebanyakan mereka yang memimpin persatuan-persatuan ini ialah orang-orang yang pro dengan Barisan Nasional sebelum ini. Orang yang pro dengan Barisan Nasional, tidak ada sesuatu yang sebenarnya kita kena rasa terkejut. Kerana itu adalah kerajaan yang memerintah. Tetapi Yang Berhormat Speaker, pemimpin-pemimpin NGO ini adalah sebenarnya orang yang biasa. Walaupun mereka ini mungkin ahli-ahli parti, cuma di

peringkat akar umbi, mereka mungkin tidak punya jawatan yang tinggi dalam parti, mereka bukan YB, mereka bukan jawatan-jawatan yang besar dalam kerajaan. Mungkin sekadar ahli-ahli jawatankuasa, mungkin ketua cawangan, mungkin ketua bahagian. Merekalah yang sebenarnya menerajui NGO-NGO dan juga badan-badan kebajikan dan sebagainya sebelum ini. Jadi, walaupun ideologi politiknya berlainan tetapi dalam konteks kemasyarakatan, mereka telah pun menjalankan tugas dengan baik, menyatupadukan masyarakat, menjalankan program-program kemasyarakatan dan sebagainya.

Dan pada hari ini apabila sudah berlakunya pertukaran dalam kerajaan, ramai di antara mereka masih lagi memimpin persatuan-persatuan ini, tidak ada sesuatu yang sepatutnya membawa satu dasar ataupun kenyataan meminta mereka keluar. Contohnya dalam konteks masyarakat India, kebanyakan pengerusi PIBG, LPS, kuil dan sebagainya adalah orang-orang MIC, orang-orang yang menjadi sama ada berjawatan dalam parti ataupun tidak, orang-orang MIC. Di kawasan YB sendiri pengerusi kuilnya ketua cawangan MIC. Tahu tak Yang Berhormat? Tahu kan? Jadi, NGO-NGO di kawasan YB kebanyakan semuanya orang MIC. Tapi kita tidak pernah menghalang mereka berjumpa dengan YB, menjemput YB Speaker untuk program-program, mengadakan mesyuarat-mesyuarat dengan ahli-ahli daripada Pakatan Harapan dan sebagainya. Kerana kita tahu bezakan di antara ideologi politik dengan masyarakat. Kita tahu walaupun mereka ini pro kepada Barisan Nasional, tetapi dalam konteks NGO, dalam konteks kemasyarakatan mereka itu sepatutnya memberi penghormatan kepada YB-YB daripada kerajaan, saya sendiri tidak pernah menghalang mereka.

Tetapi mengapa ada pemimpin-pemimpin di Pakatan Harapan ini begitu alergik sekali berjumpa pemimpin-pemimpin MIC, seperti saya katakan tadi bila NGO yang diterajui oleh orang MIC berjumpa dengan beliau, beliau begitu kasar sekali, jangan jumpa saya, saya tak nak jumpa dengan you orang, tidak ada peruntukan untuk orang-orang MIC, jangan datang jumpa kalau persatuan ini adalah orang-orang MIC dan sebagainya. Ini harus diberhentikan. Pergi ke sampai sekolah tamil, meminta pengerusi PIBG dan LPS letak jawatan hanya semata-mata kerana kedua-dua mereka itu adalah ketua-ketua cawangan daripada MIC. Lain ideologi politik dia lain, tadi pun Kempas ada menceritakan ideologi politik. Ideologi politik lain, kemasyarakatan lain. Jadi saya harap pemimpin-pemimpin yang saya rasa apabila mendapat kuasa ini mereka tidak tahu membezakan di antara daratan dengan awang-awangan, jadi berpijaklah di bumi yang nyata ini. Kita tidak dengar lagi isu-isu seperti ini dibawa apabila NGO diterajui oleh orang-orang MIC mereka dihalau. Mereka digunakan dengan bahasa yang kasar, jangan jumpa, saya tak nak jumpa dan sebagainya, ini mesti diberhentikan.

Yang Berhormat Speaker, teras mensejahterakan rakyat dalam agenda 4, iaitu memperkasakan pembangunan luar bandar. Saya ucap terima kasih kerana perhatian diberikan juga kepada masyarakat luar bandar. Kerana masyarakat luar bandar juga adalah mereka yang memerlukan pembelaan. Mereka jugalah pembayar cukai, mereka jugalah penyumbang kepada kemakmuran negeri kita ini. Dalam konteks itu, 130.39 juta, 38 projek pembangunan luar bandar akan dilaksanakan. Dan antaranya ialah Pembangunan Pusat Pengumpulan Hasil Mengkuang, tak apalah nak buat pusat pengumpulan pun tak apa. Tapi persoalan saya ialah, bilakah projek bekalan air bersih untuk Kampung Orang Asli Sedohok, Kahang ini akan dijalankan? Ini bukan peruntukan baru. Peruntukan yang dah ada sebelum PRU tetapi saya mintalah EXCO yang berkenaan kaji balik kenapa sehingga hari ni ada kelewatan walaupun dana dah ada, projek ini masih lagi belum dijalankan. Begitu juga dengan projek bekalan elektrik Kampung Orang Asli Berasau dan Kampung Orang Asli Sungai Pucur, yang juga peruntukan yang telah diluluskan. Tetapi sehingga hari projeknya ini belum dijalankan, adakah kerana ianya kawasan Barisan Nasional? Saya tidak tahu, mungkin EXCO ada jawapan.

Yang Berhormat Speaker, kawasan Penggaram Speaker ni kawasan bandar, kawasan orang kata urban area, kawasan saya ini rural area. Jadi saya ada satu masalah, masalah serangan gajah. Ok, masalah serangan gajah, gajah, elephant, elephant dengan izin, kawasan saya ini sering kali ialah hasil-hasil tanaman sering kali rosak. Dibinasakan kerana

serangan gajah liar dan iyalah, orang yang menjadi mangsa ini bukanlah estet-estet yang besar, kalau estet-estet yang besar tu iyalah dia ada 100 ekar, 200 ekar, hektar-hektar, tapi yang ini pekebun-pekebun kecil, setengah ekar, 1 ekar, 2 ekar, dan sering kali hasil-hasil tanaman seperti kelapa sawit dan sebagainya rosak kerana ancaman ini. Saya rasa ini bukan sahaja di kawasan Kahang, berlaku di Kota Tinggi, berlaku di Segamat dan sebagainya. Jadi, apakah rancangan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini? Dulu difahamkan kita membina santuari gajah, jadi apakah status santuari gajah tersebut? Dah siap ke belum? Dan kalau dah siap, bila first intake gajah-gajah ini akan dimasukkan ke dalam santuari gajah ni kita nak tahu eh.

Yang Berhormat Speaker, begitu juga kerajaan negeri prihatin membantu nelayan-nelayan, ya. Membantu nelayan-nelayan kerana pembangunan di selatan Johor ni. Tetapi pekebun-pekebun kecil ini juga mengalami kerugian. Jadi, boleh tak kerajaan negeri tengok balik, kaji balik sama ada mereka yang menjadi mangsa kepada ancaman gajah ini boleh diberi sedikit bantuan ataupun subsidi ataupun insentif kepada kerajaan negeri supaya beban mereka dapat dikurangkan.

Yang Berhormat Speaker, begitu juga dengan nasib warga FELDA ni. Apa cerita dengan warga FELDA, memandangkan pendapatan dan juga hasil sawit yang semakin menurun, saya tengok dalam bajet ni langsung tak sebut pasal isu itu. Tak ada apa-apa bantuan yang akan diberikan kepada mereka, langsung tak ada touching langsung, mengenai dengan harga sawit. Jadi, janganlah suruh mereka tanam buluh ya. Jangan suruh mereka tanam buluh, jangan suruh mereka tanam sayur dan sebagainya.

YB, Yang Berhormat Speaker RM1,000 tak cukup, ok RM1,000.00 tak cukup. Mereka memerlukan lebih pendapatan. Jadi, warga FELDA harus diberi pembelaan, kena ada sesuatu yang constructive untuk menyelesaikan isu-isu mereka.

Yang Berhormat Speaker, begitu juga saya kagum melihat dalam bajet tu banyak sangat lampu-lampu jalan akan diberikan kepada kawasan-kawasan yang tertentu. Tapi di persimpangan jalan besar Belitong ke Renggam, permohonan untuk lampu jalan dah sekian lama, belum ada penyelesaian. Minta EXCO yang berkenaan, bantulah. Ini bukan soal politik, ini persimpangan jalan, sering kali berlaku kemalangan, berlaku kehilangan nyawa dan sebagainya. Minta dibantu. Begitu juga lampu jalan masuk ke FELDA Ulu Penggeli, juga perlu ditambah.

Yang Berhormat Speaker, sekali lagi saya ingin menyentuh mengenai isu masyarakat India. Masyarakat India dalam Bajet 2018, kita memberi peruntukan sebanyak RM8 juta tak termasuk RM1.5 juta untuk Tabung Kemahiran Belia India. Tapi dalam bajet ini RM3 juta sahaja. Dengan RM3 juta, saya pun tak tahu bagaimana perbelanjaan bajet tahun lepas, yang telah pun diberikan kepada masyarakat India, tidak ada apa-apa laporan berkaitan dengan tersebut, tetapi bagi tahun seterusnya juga RM3 juta dan tidak ada apa-apa dana untuk membantu sekolah-sekolah Tamil.

Dalam Bajet 2018, RM1.5 juta telah pun diketepikan daripada RM8 juta itu, untuk prasarana dan infrastruktur sekolah-sekolah Tamil. Kebanyakan sekolah-sekolah Tamil berada dalam kawasan estet, kawasan ladang dan sebagainya. Mereka perlu diperkasakan, perlu dibantu dengan dana-dana tambahan untuk membaik pulih dan sebagainya. Tetapi ini tidak ada, mungkin Yang Amat Berhormat Menteri Besar tidak diberi nasihat yang betul, eh. Saya difahamkan sehingga hari ini tidak ada penasihat daripada masyarakat India untuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Jadi, tidak ada isu-isu masyarakat India yang telah dibawa ke perhatian beliau, mungkin terlepas pandang benda ini. Jadi, saya harap bantuan untuk sekolah Tamil ni mesti diberi supaya isu-isu masyarakat India dari segi pendidikan dapat diselesaikan.

Yang Berhormat Speaker, Kerajaan Barisan Nasional pernah membina dua krematorium di daerah Segamat, satu lagi di lebuh raya Kuantan - Segamat Lot 1004, yang kedua ialah di kawasan Jalan Segamat – Sg. Karas, Labis. Tetapi sehingga ke hari ini apakah status

krematorium tersebut? Tak ada cerita langsung. Apakah sebab ia menjadi, krematorium itu sudah dibina tapi belum beroperasi. Jadi, apa yang sebenarnya menjadi sebab ataupun faktor krematorium ini tidak dapat beroperasi? Jadi saya harap EXCO yang berkenaan dapat kaji balik perkara berkenaan. Begitu juga dalam Bajet 2018, mantan Yang Amat Berhormat Menteri Besar pernah mengumumkan pembinaan sebuah dewan untuk masyarakat India. Dia memberikan peruntukan RM1 juta di kawasan Seri Alam, Pasir Gudang. Jadi, saya pun tak tahu apa yang berlaku dengan status dewan tersebut, sehingga hari ini tidak ada berita mengenai pembinaan dewan tersebut.

Yang Berhormat Speaker, dalam bajet ini juga tidak ada menyentuh apa-apa berkaitan dengan pekerja asing. Jadi, saya tak tahu apakah fokus kerajaan negeri pada hari ini? Kita sedar bahawa di negeri kita ada lambakan pekerja asing. Kita pun tahu kelulusan pekerja asing ini datangnya daripada federal bukannya kerajaan negeri. Tetapi pada penggal yang lepas, kita dalam proses membuat satu kajian untuk melihat bukan sahaja dari segi perundangan, sama ada kita ada kerajaan negeri ada kuasa untuk menahan ataupun menentukan sektor-sektor mana yang kita boleh benarkan pekerja asing bekerja di Johor dan sektor mana yang kita tidak harus benarkan. Jadi, kita buat kajian dari segi perundangan sama ada kerajaan negeri boleh menentukan ataupun tidak, kita telah memanggil seramai stakeholders untuk berbincang perkara-perkara tersebut. Jadi, saya nak tahu sama ada pada hari ini kerajaan negeri masih lagi melihat kepada skop tersebut kerana kita kena ambil satu tindakan untuk mengurangkan lambakan pekerja-pekerja asing ini.

Pada hari ini, kalau kita pergi tengok ke supermarket, departmental store pun ramai pekerja asing. Dulu pekerja asing kita lihat bekerja di bahagian stor, bahagian gudang tetapi kalau kita pergi supermarket hari ini, bahagian jual ayam, bahagian jual daging, bahagian jual ikan, bahagian jual sayur, bahagian jual makanan kering, semuanya dijaga oleh pekerja asing. Jadi, mana perginya pekerja tempatan? Dengan gaji minima yang RM1,000.00 lebih itu, saya rasa pekerja tempatan masih lagi boleh bekerja dalam sektor-sektor ini, tak perlu kita melihat kepada sokongan dan bantuan pekerja asing. Lainlah pada 20, 30 tahun lepas, kerja kat supermarket baru RM300.00 lebih gajinya, RM350.00 ataupun RM380.00. Hari ini dah RM1,000.00 lebih tak salah saya. Jadi, saya rasa inilah antara sektor-sektor kita kena lihat. Kerajaan negeri kena tengok balik bagaimana kita boleh melihat kepada sektor-sektor yang sebenarnya. Ini kajian menyeluruhlah seperti saya katakan kelulusan daripada federal dan sama ada kita kerajaan negeri boleh tahan ataupun tidak. Kita boleh tentukan ataupun tidak dari segi perundangan, sektor mana boleh dan sektor mana yang tidak boleh.

Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin menyentuh mengenai isu perpaduan, syabas dan tahniah RM1 juta telah pun diberikan untuk program-program promosi dalam konteks perpaduan. Tetapi Yang Berhormat Speaker, perpaduan sepatutnya bermula daripada peringkat yang paling asas lagi iaitu dari peringkat kanak-kanak. Jadi, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri, tengok balik, kita ada banyak Tabika Perpaduan, Tabika Perpaduan sepatutnya menjadi platform yang paling asas sekali untuk kita membina perpaduan di antara anak-anak kita. Dan pada hari ini kalau kita lihat, ramai ibu bapa muda tak kiralah Melayu, Cina, India ini bila mereka tengok tabika perpaduan ini macam kurang impressive kata orang. Mungkin dari segi prasarananya, dari segi appearance tabika-tabika tersebut, dari segi infra dan sebagainya, saya tak sentuh silibus, silibus Kementerian tetapi mungkin kerajaan...

Timbalan Speaker

Sila gulung.

Ya, saya akan, mungkin kerajaan negeri boleh memberi bantuan dari segi peruntukan untuk membaik pulih, menambah keceriaan dan juga infra-infra yang ada di tabika-tabika ini supaya dapat menarik minat masyarakat berbilang kaum supaya dapat menghantar. Kita pernah buat inisiatif ini pada penggal lepas. Jadi, saya harap ini perlu diteruskan, ini perlu diteruskan kerana kita kena menggalakkan ibu bapa muda untuk menghantar anak-anak mereka. Hari ini kita ada banyak tabika-tabika dan tadika swasta tapi bayarannya jauh lebih tinggi dan lumayan.

Tabika Perpaduan jauh, kosnya kurang, kos kurang tidak bererti tidak ada kualiti eh. Jadi, dari segi appearance tabika ini juga perlu kita ambil kira supaya kita dapat menarik minat lebih ramai masyarakat berbilang kaum untuk menghantar anak-anak mereka ke tabika perpaduan. Jadi, itu sahaja memandangkan masa tidak mengizinkan, saya harap apa yang telah pun jadi sebagai titik sentuhan dalam bajet ini akan disentuh sepenuhnya oleh EXCO-EXCO dan juga kerajaan negeri dan kita berharap supaya kita sama-samalah untuk memastikan bahawa kita buat yang terbaik untuk rakyat negeri Johor. Dengan kata-kata akhir sekali, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Bukit Naning, jemput.

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Puan Speaker, barisan EXCO Negeri Johor dan Yang Berhormat sekalian. Salam sejahtera, selamat petang, di kesempatan ini Bukit Naning ingin mengucapkan tahniah di atas kemenangan pembangkang dalam PRK Tanjung Piai yang lepas. Tadi, Yang Berhormat Benut minta, jadi Bukit Naning bagi.

Kerajaan Pakatan Harapan akui ini adalah referendum dan ingatan rakyat. Namun, Bukit Naning yakin Pakatan Harapan akan perbaiki prestasi secepat mungkin dan masih ada masa 3 tahun lebih lagi. Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga telah memberi jaminan akan menunaikan segala janji PRK di Tanjung Piai. Namun, Bukit Naning juga mengingatkan janji Yang Berhormat Ahli Parlimen baharu dari Tanjung Piai dari pembangkang untuk menghantar umrah kepada warga emas juga mesti ditunaikan.

Di kesempatan ini, Bukit Naning ingin mengucapkan tahniah di atas pembentangan Belanjawan 2020, bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas yang bertemakan Memakmur dan Mensejahterakan Johor Bestasi oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Dr. Shahruddin bin Jamal selaku Menteri Besar Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, pertama-tamanya Bukit Naning merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih mengucapkan Selamat Hari Keputeraan Yang Ke-61 kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim pada 22 November 2019. Daulat Tuanku.

Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Naning melihat pembentangan Belanjawan 2020, yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor pada 21 November yang lepas dengan sebanyak 183 titik fokus adalah satu belanjawan yang menyeluruh, yang menyentuh pelbagai aspek, bermula dari anak yang baru lahir, pendidikan, belia, petani, nelayan, peniaga kecil malah Yang Berhormat Puan Speaker, jika kita lihat ada beberapa penambahbaikan contohnya inisiatif dari aspek kesihatan iaitu Kad Sihat Johor yang bermula dengan 14,000 penerima Kad Sihat Johor bagi mereka di bawah B40 kepada 28,000 keluarga dan 19,000 individu pada 2020. Langkah kerajaan negeri meneruskan program Kad Sihat Johor yang merupakan salah satu aku janji Pakatan Harapan disambut baik rakyat negeri Johor rata-rata rakyat meluahkan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana inisiatif seperti ini akan meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan. Ini menunjukkan kerajaan negeri prihatin kerana golongan yang hanya mampu bergantung untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik awam sebelum ini.

Seterusnya, Yang Berhormat Puan Speaker, jika kita lihat Belanjawan 2020 ini juga menitikberatkan tentang kemajuan infrastruktur luar bandar dengan meningkatkan jalan-jalan projek MARRIS dengan peruntukan sebanyak RM700 juta dan RM30 juta untuk di FELDA pada titik fokus yang ke-26. Tidak dilupakan juga Puan Speaker, peruntukan untuk pembangunan belia iaitu menyediakan koperasi belia dalam titik fokus 112. Begitu juga keprihatinan kerajaan dalam Skim Perumahan Prihatin Johor, SPPJ dan Skim Perumahan

Belia Johor, SPPJ dapat membantu mereka yang tidak mempunyai rumah untuk menduduki dan mendapatkan rumah pertama apatah lagi pasangan yang baru berkahwin dan sukar mendapatkan rumah.

Yang Berhormat Puan Speaker, ini adalah sebahagian dalam bajet dan banyak lagi yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 Johor, demi kebaikan rakyat Johor. Bagi Bukit Naning, Bukit Naning tidak bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh Kahang dan Benut, yang menyatakan bahawa Pakatan Harapan Johor hanya berjanji kosong. Sebenarnya, Kerajaan Pakatan Harapan Johor telah merealisasikan janji-janji manifesto dalam 100 hari pentadbiran. Bukit Naning cukup yakin belanjawan dari kerajaan Pakatan Harapan pada tahun hadapan ini akan dapat direalisasikan berdasarkan rekod Pakatan Harapan dalam menyelesaikan beberapa bajet pada tahun yang lepas.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam projek pembangunan luar bandar, antara yang menjadi tumpuan utama semasa pengambilalihan pentadbiran adalah pembinaan tangki air di kawasan Bukit Naning yang tertangguh banyak kali sebelum ini. Setelah itu pada Belanjawan 2019 yang lepas, telah diperuntukkan bagi membina tangki air tersebut dan pada Oktober lepas telah mula dijalankan pembinaannya, diucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri. Ini antara yang telah direalisasikan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Walau bagaimanapun, sistem perpaipan yang lama perlu dititikberatkan bagi pengairan air tersebut lebih mudah dan lancar. Ianya sering kali berlaku masalah air di kawasan yang agak jauh ke dalam seperti kawasan Parit No. 9, Parit No. 10 dan Parit No. 11 di kawasan Bukit Naning. Kerumitan ini banyak memberi kesan kepada penggunaan kawasan tersebut. Pihak SAJ RANHILL telah menjalankan tugas dengan baik dengan memberi respons yang segera dalam setiap aduan yang diberikan oleh pihak pengadu di kawasan tersebut. Namun, masih terdapat beberapa kampung dalam kawasan Bukit Naning memerlukan projek jalan luar bandar. Ini bagi menghubungkan antara satu dengan yang lain. Ianya bagi memudahkan masyarakat menggunakan laluan ini bagi urusan kerja masing-masing. Perlulah dititikberatkan dalam Belanjawan 2020 ini di kawasan Bukit Naning bagi jalan luar bandar serta jalan penghubung desa JPD yang masih belum dinikmati oleh penduduk setempat. Dalam pada itu, Bukit Naning juga berharap lebih banyak program ameniti sosial, PAMS di bawah pembangunan luar bandar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak terutamanya di kawasan Bukit Naning.

Projek Lampu Jalan Kampung, LJK, projek pembangunan luar bandar yang melibatkan lampu jalan kampung ini sering kali menjadi isu akibat kelewatan memasang lampu di kawasan laluan pengguna. Beberapa lokasi di kampung yang terdapat kurang lampu jalan ini perlu disegerakan. Ketiadaan lampu jalan ini boleh mengakibatkan kemalangan di lokasi yang agak gelap. Antara yang menjadi permasalahan pemasangan lampu jalan kampung adalah antara sempadan mukim seperti Mukim Ayer Hitam dengan Mukim Seri Menanti. Terdapat jambatan penghubung kampung juga ketiadaan lampu dan gelap apabila waktu malam. Lokasi tersebut sering kali menjadi tempat kecurian akibat ketiadaan lampu jalan.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran telah melakukan penggalian yang mengikut jadual di kawasan Bukit Naning. Tahniah diucapkan, hampir 80% hingga 90% parit yang ada dalam kawasan Bukit Naning telah melakukan penggalian dan pelebaran. Berdasarkan kepada tinjauan masyarakat setempat, skim pemotongan rumput di bawah seliaan JPS perlulah disegerakan. Memandangkan tiada penjagaan khusus oleh MPKK, di lokasi tersebut. Kaedah yang terbaik perlu dilakukan bagi memastikan pihak MPKK melakukan pemotongan rumput itu secara tersusun dan tidak menggunakan kaedah yang menyalahi syarat JPS. Kepentingan skim pemotongan rumput di kawasan parit di bawah kelolaan JPS ini akan memberikan inisiatif kepada MPKK untuk mencari tabung kewangan MPKK serta mempereratkan penduduk setempat dengan program gotong-royong bersama.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam kawasan Bukit Naning telah adanya hab perabot yang akan memberi impak kepada kerajaan negeri serta kawasan yang terlibat dengan aktiviti perindustrian tersebut. Perlu diwujudkan sebuah pusat kemahiran bagi anak-anak

tempatan dalam industri perabot ini bagi menempatkan diri dalam hab perabot tersebut sebagai tenaga kerja. Peluang dan ruang yang ada ini perlu digarap dengan baik supaya bumiputera dapat dinikmati bersama. Ini perlu penekanan oleh pihak kerajaan negeri bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada bumiputera dalam sektor hab perabot tersebut. Hab perabot ini tersebar di negeri Johor berbanding daerah lain, selain daerah Muar, ini yang tertumpu kepada kawasan DUN Bukit Naning.

Yang Berhormat Puan Speaker, semoga semua pihak kerajaan dan pihak pembangkang berlapang dada menerima dengan hati terbuka dan terus mendoakan semoga apa yang telah dirancangkan oleh kerajaan demi kemakmuran Johor dapat diterjemahkan. Oleh yang demikian, Bukit Naning dengan ini menyokong Belanjawan Johor 2020 yang bertemakan “Memakmur Dan Mensejahterakan Johor Bestari” oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Dr. Sahruddin bin Jamal. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Naning. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan hingga jam 3:45 minit.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3:35 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 3:45 petang.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Yang Berhormat Tangkak, jemput.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Salam sejahtera, salam harapan Johor. Sekalung apresiasi kepada Yang Berhormat Speaker, kerana memberi ruang kepada Tangkak untuk menyertai dalam sesi perbahasan Belanjawan 2020 yang telah di bentang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada Khamis yang lalu.

Patik mewakili seluruh rakyat di kawasan DUN Tangkak khususnya, negeri Johor amnya, merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sentiasa dalam keadaan sihat, sejahtera, bahagia dan diberkati sempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2019. Ucapan tahniah juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta penjawat-penjawat Awam Negeri Johor yang telah berjaya menyediakan sebuah belanjawan yang sangat hebat bertema “Memakmur Dan Mensejahtera Johor Bestari” yang dipercayai akan memastikan negeri Johor terus membangun sebagai sebuah negeri yang maju dan mampan.

Dalam Belanjawan yang kedua selepas Pakatan Harapan mentadbir negeri Johor, kami telah menyaksi pelbagai perubahan atau pembaharuan yang telah dirangka oleh kerajaan untuk semua lapisan masyarakat di seluruh negeri Johor. Keenam-enam teras dalam belanjawan tahun hadapan adalah untuk memenuhi aspirasi rakyat kerana kerajaan Johor telah mengkaji dengan teliti satu persatu program-program yang akan dilakukan dan akan berusaha untuk melaksanakan pada tahun 2020. Walaupun tahun ini merupakan tahun kedua kerajaan negeri Johor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kami bukan sahaja membuktikan boleh mentadbir dan mengurus negeri ini dengan cekap, telus dan lebih tersusun. Kami juga telah berjaya melaksanakan janji-janji sepertimana yang terkandung dalam sepuluh manifesto 100 hari pertama mentadbir negeri Johor. Sebagai sebuah kerajaan yang baru, dalam 18 bulan kami telah membuktikan keupayaan Pakatan Harapan mengurus negeri Johor. Sepertimana yang diumumkan dalam senario kewangan negeri Johor, kutipan hasil negeri telah mencatatkan sebanyak RM1,588.29 juta dan rizab semasa negeri juga mencatatkan peningkatan sehingga RM2,696.57 juta.

Yang Berhormat Puan Speaker, dengan hubungan rapat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, hutang negeri Johor dengan kerajaan persekutuan juga akan menyusut berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Kerajaan persekutuan juga telah

memperuntukkan sejumlah wang yang sangat besar untuk membantu negeri Johor dari segi pembangunan di dalam negeri pada belanjawan tahun 2020 kerajaan persekutuan.

Tangkak juga mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri dalam melaksanakan transformasi tadbir urus sepertimana yang kami telah janji kepada rakyat dalam manifesto Pakatan Harapan. Termasuk menubuhkan Jawatankuasa Anti-Rasuah di semua peringkat jabatan di negeri Johor. Pengisytiharan harta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan juga semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri. Memperkasakan Dewan Negeri Johor dan sebagainya. Kerajaan negeri telah menumpukan usaha untuk menangani isu kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat dengan memperkenalkan pelbagai bantuan yang merangkumi kawalan harga barang dan makanan, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kebajikan masyarakat. Antaranya, program Bank Makanan yang akan dilaksanakan di seluruh negeri Johor dengan membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40 dan penerima bantuan e-kasih, asnaf dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dipercayai dapat meringankan beban kehidupan mereka. Skim Air Percuma sebanyak 10 meter padu kepada pengguna bulanan tidak melebihi 35 meter padu yang diperluaskan daripada dulu cuma untuk penerima e-kasih sahaja kepada 229,000 pemegang akaun dalam kalangan B40 bermula sejak tahun 2018 juga akan membantu golongan berpendapatan rendah.

Skim Takaful Warga Emas yang melibatkan 28,000 orang dan Kad Sihat Johor yang julung kali dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor dijangka akan memanfaatkan 28,000 keluarga serta 19,000 individu juga adalah usaha kerajaan Pakatan Harapan yang telah kami janji dalam Manifesto pakatan Harapan Johor Tahun 2018. Selain itu, belanjawan tahun 2020 juga mengambil berat terhadap generasi anak muda, belia dan wanita. Peruntukan disediakan untuk melengkapkan ekosistem dan sumber keperluan belia di seluruh Johor. Dana untuk membangunkan daya cipta belia, program sukarelawan belia akar umbi diteruskan, program memperkasakan bakat kepimpinan anak muda dan pembangunan bakat muda kreatif dilaksanakan. Azam Usahawan Muda Johor dan Koperasi Belia yang ditubuhkan akan menyuburkan semangat keusahawanan di kalangan anak muda. Skim Bantuan Guaman Wanita juga buat kali pertama dilancar. Program kesedaran dan pembinaan fasiliti bilik Mama Friendly yang akan diperluaskan lagi di semua premis kerajaan dan beberapa program bagi keusahawanan wanita yang dicadangkan telah menunjuk keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan wanita.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam ucapan Pembentangan Belanjawan Tahun 2020 telah menyatakan ataupun mengingatkan bahawa tahun hadapan, tahun 2020 adalah satu tahun yang merupakan sangat istimewa bagi negeri Johor kerana terdapat dua acara besar yang akan berlangsung di negeri Johor, iaitu Tahun Melawat Johor 2020 dan SUKMA yang ke-20. Kita akan memasuki tahun 2020 dalam 37 hari lagi. Dan negeri Johor pada ketika itu akan secara membuka tirai untuk Tahun Melawat yang dijangka akan menyambut kedatangan 18 juta orang pelancong ke negeri Johor sepanjang tahun. Kerajaan persekutuan juga akan menganjur Tahun Melawat Malaysia 2020 pada masa yang sama. Jadi, apakah strategi yang akan diambil oleh Tourism Johor supaya pelancong yang datang ke Malaysia juga akan pilih Johor sebagai salah satu tempat kunjungan mereka. Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM8.2 juta bagi tujuan pengiklanan Tahun Melawat Johor 2020.

Tangkak ingin mencadangkan kepada Tourism Johor supaya Bandar Tangkak dipilih sebagai kawasan pengiklanan Tourism Johor kerana dengan kedudukan geografi Tangkak iaitu pintu masuk Johor Utara melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Bandar Tangkak adalah tempat pertama bagi pelancong dari Malaysia Utara untuk memasuki Johor secara laluan darat. Daerah Tangkak juga terkenal dengan tarikan pelancongan yang unik seperti Gunung Ledang, hasil-hasil tanaman dan makanan. Diharapkan Tourism Johor boleh mempertimbangkan supaya mewujudkan sebuah pusat maklumat pelancongan di Bandar Tangkak bagi mempromosikan Tahun Melawat Johor ini. Kemudahan destinasi pelancongan di dalam negeri masih belum memuaskan dengan papan tanda yang lebih jelas, tempat letak kenderaan yang selamat, maklumat pelancongan yang sempurna,

kebersihan dan keindahan tempat pelancongan adalah perkara yang sangat penting supaya imej baik negeri kita dijaga.

Dengan bantuan teknologi baru, Tangkak ingin mencadangkan supaya maklumat destinasi pelancongan boleh dimuat naik ke laman web dan pihak Tourism Johor cuma perlu pelekat kod QR yang boleh diimbas dengan menggunakan telefon bimbit.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam pembentangan pada hari Khamis lalu ada menyebut tentang Smart Johor, Tangkak mengucapkan syabas kerana ia adalah sebuah inisiatif yang baik untuk membawa negeri kita ke landasan untuk menjadi sebuah negeri yang pintar dari segi pentadbiran, pintar dari segi perbandaran, pintar dari segi pengurusan aduan rakyat dan sebagainya. Saya mengharap inisiatif digital Smart Johor ini dapat diperluaskan ke semua Pihak Berkuasa Tempatan, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan dalam masa yang terdekat. Sebenarnya seperti mana kami di Dewan ini di maklum oleh Yang Berhormat Skudai pagi tadi kerajaan negeri talah melantik Msc Cyberport Sdn Bhd untuk melaksanakan pembangunan pelaksanaan e-PBT di Pihak Berkuasa Tempatan negeri Johor pada hujung tahun 2009. Sistem e-PBT Johor dibangunkan bertujuan untuk membolehkan semua PBT di Johor menggunakan sistem yang moden, komprehensif dan bersepadu dan sistem ini dapat membantu Pihak Berkuasa Tempatan dalam meningkatkan proses kerja sedia ada, menyediakan perkhidmatan elektronik terbaik untuk orang awam. Tapi malangnya seperti di maklum, sebanyak 24 modul sistem e-PBT Johor yang telah dibangunkan tidak diguna pakai sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Tempatan di dalam negeri. Sehingga ia dikemukakan muncul dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017, siri, negeri Johor, Siri Kedua.

Dalam zaman digital ini, semakin hari semakin banyak urusan seharian kita dapat diselesaikan dengan peranti elektronik. Perdagangan secara atas talian bukan lagi sesuatu yang asing untuk rakyat kita. Bagi membantu usahawan untuk menyahut perdagangan di Internet, kerajaan negeri Johor menyediakan geran modal permulaan e-commerce yang dipercayai boleh memberi kesan positif kepada peningkatan pendapatan dan perkembangan perniagaan dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana. Perkhidmatan jalur lebar juga telah menjadi satu keperluan yang penting untuk semua rakyat. Sebagai pembekal terbesar, pembekal perkhidmatan terbesar jalur lebar, talian tetap Telekom Malaysia diminta mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan infrastruktur telekomunikasi supaya dapat menampung permintaan pengguna. Terdapat banyak kawasan di luar bandar masih belum di bekal perkhidmatan jalur lebar yang memuaskan disebabkan kekurangan dari segi infrastruktur telekomunikasi. Masalah ini juga berlaku di kawasan-kawasan perumahan baharu di bandar, oleh kerana penyediaan infrastruktur komunikasi bukan wajib dalam Sijil Perakuan Penyiapan Kerja dan Pematuhan Projek (CCC), pembeli rumah selalu menghadapi kekangan untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar. Tangkak bercadang dengan adanya Majlis Komunikasi Dan Multimedia Negeri Johor dan Jawatankuasa Induk Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Johor, pihak kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan boleh mengkaji untuk mewajibkan asas sistem komunikasi dalam semua permohonan projek pembangunan.

Yang Berhormat Puan Speaker, larangan penggunaan bekas pembungkusan makanan dan cawan minuman polystyrene yang dikuatkuasakan bermula 1 September tahun 2007 di negeri Johor telah gagal disebabkan tanpa penguatkuasaan yang tegas. Tangkak ucap terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan negeri Johor kerana sudi melaksana semula larangan ini bermula Januari 2020. Tindakan ini juga selaras dengan pelan hala tuju Malaysia ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna tahun 2018 sehingga tahun 2030 yang telah diumumkan oleh YB Menteri MESTECC pada Oktober tahun 2018. Tangkak mencadangkan kerajaan negeri dapat menjalankan khidmat nasihat supaya menggalakkan kilang-kilang yang membuat beg plastik ataupun produk plastik di negeri Johor untuk mengalih kepada pembuatan produk plastik bio-degradeable. Kementerian MESTECC juga menggalakkan untuk mengguna tenaga solar yang lebih mesra alam, lebih jimat dan dapat mengurangkan pelepasan karbon sejak tahun 2018. Tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah menyertai dalam projek tenaga mampan ini. Di bawah skim pemeteran tenaga bersih

ataupun Net Energy Metering dengan izin NEM yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), tenaga yang dijana daripada sistem panel solar akan dibeli balik oleh TNB, Tenaga Nasional Berhad dengan tarif elektrik runcitnya. Untuk maklumat Dewan Yang Mulia ini, satu pakej di bawah Enact Energy Metering yang dikenalkan oleh kerajaan persekutuan di mana pengguna atau kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan modal dan kos pemasangan serta kos penyelenggaraan sepanjang tempoh kontrak kerana ia akan ditanggung oleh pihak Tenaga Nasional Berhad.

Timbalan Speaker

Sila gulung.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Oleh itu, Tangkak berharap semua GLC dan Pihak Berkuasa Tempatan di Johor boleh mengikut langkah kerajaan negeri untuk memasang solar panel di bangunan masing-masing sebelum skim early bird NEM ini tamat pada 31 Disember tahun 2020. Yang Berhormat Puan Speaker, Yayasan Pelajaran Johor selama ini telah menaja dan memberi peluang kepada anak Johor untuk melanjutkan pelajaran di institut pelajaran tinggi awam dan swasta setiap tahun tanpa gagal. Semua pinjaman pengajian tinggi YPJ tidak akan dikenakan caj faedah dan pengecualian bayaran balik diberi kepada peminjam yang berjaya mendapat diploma dan ijazah sarjana muda kelas pertama. Kerajaan negeri pada tahun 2020 juga telah memperuntukkan sejumlah RM24.1 juta untuk YPJ meneruskan bantuan pengajian kepada pelajar negeri Johor. YPJ Holdings juga telah ditubuhkan di bawah YPJ untuk memegang aset dan menjana dana pendidikan untuk YPJ. Tangkak ingin bertanya berapakah jumlah wang yang telah di salur balik kepada YPJ oleh YPJ Holdings setiap tahun?

Yang Berhormat Puan Speaker, perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang masih berlanjutan telah sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Malaysia dan juga negeri Johor. Kami sedia maklum terdapat banyak syarikat antarabangsa telah menzahirkan hasrat mereka untuk melabur di sini. Pada awal bulan Oktober sebuah kilang semi-conductor dari Itali telah memindah kilang mereka dari Singapura ke Kawasan Perindustrian Tangkak. Kerajaan negeri juga kerap menghantar rombongan ke luar negara untuk menarik pelabur masuk ke Johor. Sejauh manakah pelabur yang telah kita berjaya membawa masuk...

Timbalan Speaker

Dua minit lagi...

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Dan berapa jumlah pelaburan sehingga sekarang. Saya juga pernah menyentuh isu tentang prosedur permohonan lesen dan permit operasi pelabur asing di Malaysia yang selalu memakan masa yang panjang sehingga ada di kalangan mereka hilang keyakinan terhadap kita. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah membuat penambahbaikan berkenaan dengan isu ini termasuk mempercepatkan tempoh proses memperolehi kelulusan bagi perolehan hartanah oleh kepentingan pelabur asing kepada 14 hari. Saya menyeru jabatan dan agensi kerajaan di negeri Johor juga akan mempercepatkan permohonan pelabur asing dalam membantu negeri kita menjadi pilihan pertama mereka dan akhirnya dapat memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor.

Akhir kata, saya ingin juga mengucap tahniah kepada Pejabat Yang Berhormat Speaker dan pejabat Jurutulis kerana dalam beberapa bulan ini telah menyediakan apa tu, Portal tersendiri Dewan Undangan Negeri Johor yang telah banyak memudahkan kerja-kerja kami sebagai seorang Wakil Rakyat dan juga saya masih ingat termasuk Yang Berhormat Puan Speaker bahawa permintaan kami sejak tahun 2013 sehingga hari ini akhirnya kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya melaksanakan. (Dewan bertepuk). Oleh itu, saya juga ingin mengambil sedikit masa untuk membalas...

Timbalan Speaker

Masa sudah tamat.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Sekejap Puan Speaker, saya ingin mengingatkan Yang Berhormat Benut dan juga Yang Berhormat Kahang memang cantik apa tu better state by design yang telah dirangka tadi tapi saya pelik sebagai pasukan pembangkang yang

berpengalaman sebagai kerajaan, kenapa sehingga hari ini baharu merangkakan cadangan ini sepatutnya keluarkan bajet belanjawan alternatif sebelum kerajaan negeri membentang kerana kami zaman di pembangkang kami menyediakan belanjawan alternatif (Dewan bertepuk). Jadi, mungkinlah dengan kemenangan di pertembungan di Tanjung Piai itu terlalu excited dengan izin, jadi mudah kehilangan ingatan sementara, tapi tak apa kita Pakatan Harapan telah menang dalam peperangan pada tahun 2018 dan akan terus menang pada pilihan raya umum yang akan datang (Dewan bertepuk). Sekian terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih YB Tangkak. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Bukit Pasir.

Kapt (B) Haji Najib bin LepPAS · GSBukit Pasir

Selawat, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Muafakat Nasional. (Doa). Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibnu Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, patik merafak sembah dan ucapan setinggi-tinggi penghargaan serta ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas ucapan dan Perasmian Sidang Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Ucapan tahniah dan selamat turut patik panjangkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-61, patik panjatkan doa semoga Allah SWT memberi kurnia kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kesihatan serta umur yang panjang serta dilimpahi kegemilangan dan kesejahteraan kepada semua yang berada di bawah pemerintahan Tuanku, insya-Allah. Alhamdulillah ucapan tahniah dan selamat juga DUN Bukit Pasir panjangkan kepada Pakatan Muafakat Nasional Dan Perpaduan Ummah yang telah menawan hati masyarakat (Dewan bertepuk). Justeru, memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen P165 Tanjung Piai pada 16 November 2019 baru-baru ini. Satu kemenangan yang amat dirai maka DUN Bukit Pasir mengucapkan semoga usaha yang sebegini tinggi diteruskan dan kekal dalam membina kekuatan blok pembangkang yang tiada tolok bandingnya insya-Allah (Dewan bertepuk).

DUN Bukit Pasir juga mengucapkan kepada kakitangan kerajaan yang bertungkus lumus bekerja dengan mempunyai kompeten pada mutu kerja yang baik walaupun kerajaan yang ada sekarang tidak jelas hala tujunya. Yang Berhormat Puan Speaker, DUN Bukit Pasir ingin menyingkap semula kemenangan di Tanjung Piai dengan majoriti sebanyak 15,086 memberi indikasi bahawa kebanyakan rakyat telah membuka mata kepada isu-isu yang berlaku pada masa kini. Masyarakat kini bertambah peka dan mampu menilai perubahan-perubahan yang telah dilakukan oleh kerajaan baru. Sama ada perubahan yang baik ataupun yang boleh diperbaiki lagi. Yang Berhormat Puan Speaker, maka isu-isu yang akan DUN Bukit Pasir bahaskan.

(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan)

Puan Speaker saya menyambung perbahasan, maka isu-isu yang akan DUN Bukit Pasir bahaskan pada petang ini, merangkumi beberapa isu yang dilihat boleh diperbaiki. Sebarang perkara atau permasalahan yang dilihat membebankan rakyat harus di imbal balik dan ditekankan oleh blok pembangkang selain memberi cadangan serta idea alternatif. Hal ini untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan masyarakat kerana ia merupakan salah satu tunggak utama kepada Johor Sejahtera. Sebagaimana firman Allah SWT (bacaan ayat Al-Quran), yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu, apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. Yakni Surah An-nisa, ayat 58.

Yang Berhormat Puan Speaker, bersempena pembentangan Belanjawan 2020 adalah selari dengan DUN Bukit Pasir membahaskan beberapa perkara yang dipetik daripada belanjawan kedua-dua tahun bagi tahun 2019 dan 2020. Isu pertama, mengenai pemansuhan Bantuan Tanam Semula Sawit dan diganti dengan Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil (IPPKS). Dengan

jumlah yang, dengan jumlah dana bernilai RM550 juta kedua-duanya memiliki faedah 2% di bawah lantikan Agro Bank. DUN Bukit Pasir percaya keputusan memansuhkan skim bantuan dan menggantikan dengan skim pinjaman adalah tidak relevan. Hakikat di sebalik skim pinjaman ini hanyalah pekebun kecil berskala kecil bakal dibelenggu oleh hutang piutang yang tiada berkesudahan. Tiga point utama bantahan DUN Bukit Pasir terhadap skim pinjaman. Pertama, adakah peratus pekebun kecil sawit tidak juga terbeban oleh skim-skim pinjaman lainnya dalam kehidupan seharian? Kemungkinan mereka telah terikat dengan pinjaman rumah, kenderaan, pengajian tinggi anak-anak dan sebagainya, sebagai pelaburan aset dan masa depan keluarga masing-masing. Skim pinjaman yang diperkenalkan ini menambah beban pekebun-pekebun kecil sawit daripada membantu meringankan.

Kedua, apakah alternatif kepada pemohon yang memiliki kadar risiko kredit yakni CRR yang tinggi dan gagal mendapat kelulusan pinjaman? Seolah-olah kerajaan terlupa kepada segelintir golongan ini yang benar-benar memerlukan bantuan. Dikhuatiri sekiranya mereka dibiarkan sebarang bantuan maka menurun penghasilan komoditi sawit dan menjejaskan ekonomi negeri dan negara.

Yang Berhormat Puan Speaker, berdasarkan data bilangan pemegang lesen MPOB bagi pekebun kecil sawit persendirian, terdapat seramai 77,715 bilangan pekebun kecil sawit di Johor. Mereka merupakan antara penyumbang kepada sebahagian 13.8% KDNK pertanian negeri Johor bagi tahun 2018. Ia merupakan sebuah jumlah yang besar dan tetap menjadi faktor penyumbang kepada KDNK negeri. Tindakan kerajaan merisikokan golongan ini melalui skim pinjaman dilihat sebagai langkah tidak bijak.

Keruncingan situasi ini membawa kepada point ketiga iaitu DUN Bukit Pasir mencadangkan agar kerajaan melaksanakan penetapan harga lantai bagi industri sawit. Berdasarkan kajian yang sedang dijalankan sehingga kini, Menteri Industri Utama melalui akhbar Berita Harian 5 November 2019, mengatakan harga lantai sawit tidak dapat dilaksanakan atas ketidakmampuan kerajaan buat masa kini. Tetapi kajian mengenainya diteruskan. DUN Bukit Pasir menggesa agar resolusi ini dititikberatkan dan dipertimbangkan semula selain dapat memfokuskan bantuan insentif kepada pekebun kecil sawit, kerajaan juga boleh mengambil langkah yang bijak dengan menetapkan harga lantai sawit hanya kepada jumlah tan pertama yang tertentu. Perkara ini memastikan kerajaan sendiri tidak terbeban untuk menampung inisiatif cadangan 20 atau 15 tan pertama.

Yang Berhormat Puan Speaker, DUN Bukit Pasir mengharapkan kerajaan sekurang-kurangnya memberi ruang nafas kepada pekebun kecil sawit. Mereka merupakan golongan mudah menghadapi kesukaran dalam industri ini. Justeru, bantuan perlu dihulur kepada pengusaha kelapa sawit bagi menjaga kepentingan dan sumber pendapatan mereka.

Beralih kepada isu kedua ialah pelaksanaan tuntutan insentif pengeluaran getah (IPG) yang lemah. Berdasarkan rekod Pengarah Wilayah Timur Lembaga Getah Malaysia tahun 2018, akhbar Berita Harian 19 Disember 2018, hanya 10% pekebun kecil getah di wilayah itu yang membuat tuntutan IPG. Antara faktor yang dibentangkan ialah kos perjalanan dan jarak yang jauh bagi peraih berdaftar dan mendapatkan hasil getah dan membantu mereka membuat tuntutan IPG. Memandangkan kebanyakan pekebun kecil getah tidak memiliki kenderaan sendiri serta tinggal di luar bandar. Mereka bergantung harap kepada peraih untuk mendapatkan sendiri hasil getah. Peraih berdaftar hanya mampu mendapatkan hasil getah daripada beberapa jumlah bilangan pekebun kecil getah maka peraih-peraih tidak berdaftar berleluasa dan beroperasi untuk mendapatkan keuntungan.

Yang Berhormat Puan Speaker, justeru bagi mematahkan monopoli industri getah oleh peraih tidak berdaftar serta membantu meningkatkan kadar tuntutan IPG, kerajaan perlu mengkaji dan mempertimbangkan insentif kepada peraih berdaftar yang membantu pekebun kecil getah melalui tuntutan IPG. Keuntungan insentif walaupun sedikit tetapi bermakna boleh membawa impak yang amat positif kepada industri ini. Selain itu, kerajaan perlu sedia

untuk bertindak secara bijak bagi mengawal sosioekonomi industri getah agar meramaikan jumlah peraih berdaftar. Justeru memiliki capaian ke kawasan luar bandar.

Yang Berhormat Puan Speaker, isu ketiga ialah masalah air di Johor. Berdasarkan Belanjawan 2019, sejumlah RM3.5 juta diperuntukkan bagi infrastruktur dan pengurusan air. Namun sering dilihat laporan-laporan catuan air kerap berlaku. Kawasan meliputi Simpang Renggam, Layang-Layang, Pontian dan sebagainya mengalami gangguan bekalan air. Empangan pula sering di bawah paras kritikal akibat cuaca panas berpanjangan. Akhbar Berita Harian 3 September 2019, berdasarkan jumlah yang diperuntukkan sebanyak RM3.5 juta tersebut, apakah keberkesanannya dalam mengatasi masalah gangguan bekalan air dan sejauh manakah peruntukan yang diberikan memberi impak kepada permasalahan yang berlaku? Tambahan pula kekerapan gangguan bekalan air amat meruncing, merunsingkan dan kerajaan seharusnya sedar dari tidur yang lena.

Sebagaimana pengetahuan umum, air mentah disalurkan dari sungai ke loji rawatan air kemudian ke empangan sebagai simpanan air bersih sebagaimana tercatat di Berita Harian 14 Ogos 2019, sumber air loji rawatan di Johor turut mencatatkan penurunan paras muka sauk daripada 2.75 meter kepada 0.93 meter di Loji Rawatan Air Lok Heng, Kota Tinggi. Hal ini akibat cuaca kering dan panas berlanjutan, namun bukan sahaja cuaca kering mampu menjejaskan paras aliran sungai begitu juga keadaan fizikal sungai seperti pencemaran dan hakisan bentuk fizikal sungai melalui pembangunan dan pembinaan.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang berhormat Puan Speaker, tidak boleh baca teks.

Kapt (B) Haji Najib bin LepPAS · GSBukit Pasir

Tercatat di akhbar Sinar Harian...

Timbalan Speaker

Sila letak teks atas meja.

Kapt (B) Haji Najib bin LepPAS · GSBukit Pasir

Tercatat di akhbar Sinar Harian pada 23 September 2019 ialah laporan Johor antara negeri paling banyak sungai tercemar dengan sebanyak 28 sungai tercemar kelas ke-3 dan kelas ke-5. Statistik data Jabatan Alam Sekitar sejak tahun 2017.

Yang Berhormat Puan Speaker, DUN Bukit Pasir ingin memperjelas point ketiga ini kerana masalah air bukan sahaja keralatan infrastruktur atau pengurusan air dari empangan ke perumahan sahaja. DUN Bukit Pasir mengetengahkan permasalahan yang sebenarnya lebih menyeluruh dan memerlukan penyelesaian dari akar umbi. Maka DUN Bukit Pasir beralih kepada pihak yang bertanggungjawab memantau keadaan-keadaan sungai seperti JAS, Badan Kawalan Selia Air Negeri Johor, BAKAJ dan sebagainya. Jabatan-jabatan ini memiliki beban tanggungjawab tinggi melestarikan alam sekitar tetapi jumlah penguatkuasaan tidak sepadan dengan jumlah kes dan aduan. Mengenai alam sekitar atau sungai. Apakah sifat kebertanggungjawaban pihak kerajaan dalam mengendalikan isu kekurangan kakitangan penguatkuasaan selain daripada mencadangkan penggiliran syif atau jadual yang fleksibel.

Yang Berhormat Puan Speaker, DUN Bukit Pasir memberi cadangan agar kerajaan mengkaji semula peruntukan bagi menambah jumlah kakitangan penguatkuasaan di jabatan-jabatan awam dengan bebanan kerja tinggi. Bukan sahaja hal ini dapat meringankan bebanan kerja malah sedikit sebanyak menghasilkan pentadbiran yang lebih efisien oleh jabatan. Tindakan penguatkuasaan yang lebih efektif juga membantu dalam memperketatkan undang-undang melestarikan alam sekitar negeri Johor. Selain daripada tindakan jangka pendek, tindakan jangka panjang juga perlu bagi memastikan keadaan sungai lebih terpelihara dipantau dan terus berkemampuan menyediakan sumber air mentah sehingga ke generasi seterusnya, insya-Allah.

Yang Berhormat Puan Speaker, isu keempat dan yang terakhir ialah jualan rumah pada harga minimum RM600,000.00 yang telah diturunkan daripada RM1 juta buat warga asing

sebagai langkah membantu mengurangkan lambakan hartanah dilihat tidak membantu atau menyumbang kepada ekonomi rakyat. Menggalakkan pemilikan hartanah oleh warga asing bakal membuka kepada penempatan warga luar di dalam negara, budaya asing yang dibawa juga berisiko mengakibatkan gejala sosial. Pengaruh budaya tidak sihat serta kejadian yang tidak diingini. Penjanaan dari sudut ekonomi, masyarakat juga tidak dilihat terkesan dengan begitu positif, pemilikan hartanah lebih tinggi tarikan kepada warga asing yang bakal menetap di negara Malaysia. Manakala lokasi-lokasi yang lebih eksotik di serata dunia merupakan pilihan yang lebih tinggi oleh warga asing yang memberi hartanah dengan niat bercuti.

Selain itu, sepertimana kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob bahawa inisiatif ini dilihat hanya akan menguntungkan pemaju. Pemaju-pemaju dikhuatiri melambungkan harga unit yang tidak terjual dengan harga yang tinggi agar boleh dilepaskan kepada warga asing, manakala sepatutnya pemaju akan menurunkan harga turut dibimbangi perubahan ini menyebabkan pemaju tidak lagi berminat membina rumah mampu milik. Tetapi, tertumpu untuk membangunkan kediaman bernilai RM600,000.00 dan ke atas.

Yang Berhormat Puan Speaker, DUN Bukit Pasir percaya masih terdapat alternatif yang lebih baik untuk mengawal lebihan hartanah yang tidak terjual. Sepertimana yang dicadangkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri, kerajaan perlu menjadikan contoh oleh pentadbiran Hong Kong yang mengenakan cukai 200% dari nilai cukai tanah tahunan kepada hartanah yang tidak terjual, sekali gus langkah ini memastikan pemaju membina rumah mengikut keperluan dan permintaan bukannya berdasarkan keuntungan dan ketamakan.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT (bacaan potongan ayat Al-Quran) yang bermaksud “apakah aku akan mencari Rabb selain Allah, padahal dia adalah Rabb bagi segala sesuatu, dan tidaklah seseorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, kemudian kepada Rabbmulah kamu kembali dan akan diberitakannya kepadamu apa yang kamu perselisihkan”, Surah Al-Anam ayat 164. Semoga Allah SWT memberi penghayatan kepada hati-hati kita, meringankan segala yang berat, memudahkan segala yang sukar dan menggembirakan mereka yang sentiasa ikhlas walaupun hakikat kehidupan, Allah sentiasa menurunkan ujian buat setiap hambanya.

Dengan yang demikian, DUN Bukit Pasir memohon agar kerajaan negeri Johor meneliti semula empat instrumen yang disebutkan tadi selain bertujuan untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, ia juga merupakan harapan dan amanah yang dituntut oleh penduduk kawasan khususnya DUN Bukit Pasir serta seluruh negeri Johor agar penyelesaian terhadap isu-isu ini dapat dicapai. Sekian, saya sudahi dengan wabillahi taufik walhidayah, wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Layang-Layang, jemput.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Muafakat Nasional, salam 15,086. Yang Berhormat Puan Speaker, happy belated birthday, saya tengok Yang Berhormat semakin berumur semakin cantik dan ayu, apa rahsia agaknya.

Timbalan Speaker

Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Makan sawit eh?

Timbalan Speaker

Minum sawit, bukan makan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Pertama-tamanya izinkan saya mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional, Yang Berhormat Datuk Seri Wee

Jeck Seng yang menang di Tanjung Piai baru-baru ini. Setinggi-tinggi tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Hasni sebagai ketua pembangkang Johor dan kepada semua jentera Barisan Nasional dan PAS yang telah berusaha bertungkus lumus untuk memenangkan calon Barisan Nasional (Dewan bertepuk). Insya-Allah ini merupakan titik kebangkitan baru untuk MCA dan sekali gus membuktikan bahawa Muafakat Nasional antara parti-parti komponen Barisan Nasional bersama PAS adalah formula terbaik untuk menawan kembali Nusajaya dan Putrajaya (Dewan bertepuk). Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan juga kepada pengundi-pengundi Tanjung Piai yang telah menunaikan tanggungjawab mereka bertunjangkan kebijaksanaan dan kewarasan. Mereka sesungguhnya bukan hanya menjadi suara untuk orang Tanjung Piai, mereka juga adalah jeritan suara menzahirkan kekecewaan rakyat Johor dan rakyat Malaysia terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Yang Berhormat Speaker, selepas kekalahan kerajaan Pakatan Harapan di Tanjung Piai, ada sesetengah pemimpin Pakatan Harapan pusat yang telah menerima keputusan ini dengan baik dan berlapang dada. Pemimpin pusat mahu mengkaji dan memahami mengapa Pakatan Harapan kalah begitu teruk sekali di Tanjung Piai. Tetapi malangnya, senario di Johor berbeza, dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar tempoh hari beliau langsung tidak menyentuh tentang pengajaran yang kerajaan Pakatan Johor perolehi daripada pengalaman di Tanjung piai, seolah-olah tidak ada correlation dengan izin, antara apa yang berlaku di Tanjung Piai dengan kerajaan Pakatan Harapan Johor malah mantan Menteri Besar Johor hari ini menyalahkan kerajaan Barisan Nasional yang lepas, menyalahkan penjawat-penjawat awam dengan angkuh mengibaratkan orang Johor sebagai janda-janda yang banyak anak. Pemimpin PH Johor, saya rasa masih belum dapat mesej yang nak disampaikan oleh rakyat Johor. Sebab itu ada yang mengatakan bahawa apa yang berlaku di Tanjung Piai ini adalah perkara yang kecil, sekadar undi protes.

Yang Berhormat Puan Speaker, kalau kalah seribu dua mungkinlah undi protes, tapi kalau kalah sampai 15,000, kalah di kesemua 27 PDM, 73% daripada 38,815 yang keluar mengundi, menolak Pakatan Harapan. Orang-orang muda, orang-orang Cina yang dulu berbondong-bondong menyokong Pakatan Harapan, hari ini sebulat suara menolak mereka. Ini bukan undi protes, ini mesej yang jelas daripada rakyat Johor tidak kira agama, bangsa mahupun umur semuanya hampa dan kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan.

Yang Berhormat Speaker, sebagai anak muda bukan niat saya untuk menghina ataupun mengherdik kerajaan sedia ada. Pengalaman peribadi saya semasa UMNO dan Barisan Nasional kalah dengan begitu teruk sekali merupakan satu pengalaman yang amat memeritkan, satu pengalaman yang tidak mampu saya ungkapkan dengan perkataan. Namun alhamdulillah, ia mengajar saya untuk muhasabah, bersabar, jangan putus asa, berusaha dan sentiasa istiqamah untuk membela rakyat. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang saya hormati sekalian, jadikanlah pengalaman di Tanjung Piai ini sebagai pengajaran dan peringatan kepada kita semua yang berada di dalam Dewan ini sebagai Wakil Rakyat termasuk diri saya bahawa rakyat akan menghukum dan menolak mana-mana parti mahupun individu yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik.

Yang Berhormat Speaker tahu tak kenapa majoriti rakyat menolak Pakatan Harapan? Pemimpin pakatan semalam dah buat post-mortem, izinkan saya memberikan sedikit pencerahan walaupun ia mungkin pahit untuk ditelan. Ini untuk kebaikan bersama, ada tiga sebab utama rakyat menolak Pakatan Harapan. Sebab pertama rakyat menolak Pakatan ialah kerana hari ini rakyat sudah sedar dan tahu tentang tembelang Pakatan Harapan, menabur janji bulan dan bintang malah cakerawala sebelum pilihan raya umum, walaupun mengetahui bahawa janji-janji tersebut tidak mungkin dapat ditunaikan. Buat janji, tapi tak ada niat pun nak tunaikan, buat janji kerana ingatkan Pakatan akan kalah, ini kenyataan yang keluar daripada mulut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri.

Setahu saya janji nak hapuskan hutang PTPTN, nak hapuskan tol, nak turunkan harga minyak, nak turunkan kos sara hidup, nak bawa gaji minimum ke RM1,500.00, nak bawa anak-anak kita yang bekerja di Singapura untuk kembali ke sini. Nak mewujudkan 1 juta

peluang pekerjaan, setahu saya janji-janji ini semua, semua belum ditunaikan. Sebelum pilihan raya umum berpiket-piket menghasut rakyat, mencanang dalam ceramah sampai ada yang menangis, menangis memujuk rakyat sehingga rakyat akhirnya termakan umpan dan membuat pilihan berdasarkan janji yang ditabur. Dan ternyata strategi ini berjaya, tahniah saya ucapkan kepada kerajaan Pakatan Harapan. Matlamat menghalalkan cara kan? Tapi saya nak tanya, saya nak tanya pemimpin-pemimpin pakatan harapan terutama mereka yang beragama Islam, apakah hukumnya bila seseorang berjanji kemudian tidak menunaikan janji tersebut? Itu ciri-ciri manusia jenis apa ya? Saya yakin tidak ada sebarang agama di dunia ini yang menghalalkan mana-mana penganutnya untuk memungkiri janji. Dalam Islam, sebagai orang Islam, saya dididik bahawa orang yang tidak menunaikan janji dipanggil munafik. Tidak ada terma ataupun perkataan yang lebih tepat dan sesuai daripada itu untuk menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan. Penipu, kaki kencing dan hancing tidak memadai. Kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan munafik. Menunggu Pakatan nak tunaikan janji, ibarat menunggu kucing bertanduk, ibarat menunggu matahari timbul, terbit daripada barat, sampai kiamat pun tak akan berlaku. Sebab itu soalan saya untuk sidang DUN ini ditolak, saya menghantar soalan itu tiga minggu yang lepas, ditolak mentah-mentah tanpa sebab.

Saya ni Yang Berhormat Speaker, mewakili orang Layang-Layang, soalan saya adalah soalan mereka, mengapa perlu tolak soalan saya? Dan soalan saya bukan susah pun Yang Berhormat Speaker, soalannya mudah. Soalan saya, bilakah tol Simpang Simpang Renggam akan menjadi percuma. Kenapa perlu tolak? Kalau tak boleh buat, cakap tak boleh buat, jangan berdolak-dalih lagi ini tidak bila tidak boleh tunaikan salahkan BN, salahkan UMNO dan hari ini salahkan penjawat-penjawat awam. Dewan Mulia ini dikelilingi oleh penjawat-penjawat awam. Saya nak tanya penjawat-penjawat awam, setuju dengan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Kempas? Penjawat-penjawat awam, mereka bekerja untuk rakyat. Mereka mengikut arahan yang diberikan oleh kerajaan memerintah. Kalau kerajaan memerintah tidak ada hala tuju selalu buat u-turn mengelirukan penjawat-penjawat awam, adakah itu salah mereka Yang Berhormat? Sudah-sudahlah nak menuding jari salahkan orang lain. Yang Berhormat Speaker, tunaikanlah janji-janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum. Tunaikan janji-janji yang dibuat semasa Cameron Highland, di Semenyih, di Rantau dan baru-baru ini di Tanjung Piai. Cukup-cukuplah buat janji bulan dan bintang, cukup-cukuplah jadi kerajaan munafik.

Yang Berhormat Speaker, sebab kedua rakyat menolak Pakatan Harapan ialah kerana Kerajaan Pakatan adalah kerajaan kakistocracy. Yang Berhormat Puan Speaker tahu tak apa maksudnya? Dato’ Hasni pernah sebut ni. Maksud kakistocracy, A Government That Is Ruled By The Least Qualified Or Least Experience People In A State Or Country. Terjemahannya sebuah kerajaan yang ditadbir urus oleh mereka yang tidak berkelayakan dan tidak ada pengalaman.

Timbalan Speaker

Tidak berkelayakan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Tidak berkelayakan dan tidak berpengalaman.

Timbalan Speaker

Ini dipilih oleh rakyat kenapa kata tidak berkelayakan?

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Baru dia sedar sekarang. Saya boleh cerita dengan terperinci. Sabar Yang Berhormat. Saya akan huraikan satu persatu dengan izin. Terima kasih. Makin cantik saya tengok. Rakyat kecewa melihat prestasi menteri-menteri kerajaan kakistocracy, macam-macam menteri kita ada hari ini. Menteri tak ada ijazah, menteri ijazah palsu, menteri sesudu sawit, menteri kasut hitam, menteri kereta terbang, menteri kewayangan, menteri elephant fight with elephant, menteri Batam, macam-macam menteri kita ada hari ini. And it wonder why investor takut nak melabur dekat negeri dan negara kita. Kelemahan kerajaan kakistocracy sekali lagi dibuktikan dengan pembentangan bajet oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang dari tadi tak ada. Tolong kirim salam dekat dia Yang Berhormat.

Ramai rakyat kecewa dengan Bajet tahun ini kerana ia tidak langsung mempunyai visi dan hala tuju yang jelas untuk membangunkan negeri Johor ini. Bajet tahun lepas dah ke laut, tahun ini pula tidak ada langsung perincian yang nak merancakkan kembali ekonomi kita. Tidak ada langsung perincian cara untuk menarik pelabur asing. Tidak ada langsung perincian tentang peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak muda Johor. Berapa banyak peluang diwujudkan? Di manakah peluang tersebut? Dalam sektor mana? Tak ada, tak ada perincian. Tidak ada langsung perincian terhadap cara nak membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Nak bantu pekebun-pekebun sawit, nak bantu pekebun-pekebun getah.

Adakah Yang Amat Berhormat Menteri Besar lupa bahawa bajet yang dibentangkan mempunyai implikasi yang amat besar kepada periuk nasi ramai orang Johor. Bajet yang dibentangkan langsung tidak meringankan beban yang dihadapi oleh mereka. Mungkin Yang Amat Berhormat Menteri Besar percaya dengan kenyataan bekas calon Parti Pakatan Parlimen Tanjung Piai, siapa tak kenal arwah Haji Karmain. Beliau berkata, dengan hasil sawit RM1,000.00 sebulan sudah mencukupi untuk orang kampung, nak makan sayur tanam sendiri, mungkin perlukan duit untuk isi minyak kereta sahaja. Saya nak betulkan kenyataan songsang ini, pertamanya hasil RM1,000.00, yang pertamanya hasil RM1,000.00 ini belum tolak duit upah pekerja, belum tolak duit racun, duit baja, dah tolak semua itu tinggal untung bersih dalam RM400.00 hingga RM500.00.

Yang Berhormat, majoriti orang Layang-Layang bergantung harap kepada hasil sawit. Dengan duit RM400.00 itulah nak digunakan untuk menampung seisi keluarga. Setiap kali saya buat ziarah kasih di DUN Layang-Layang, maka berlinanglah air mata. Insaf, melihat kesempitan hidup yang dirasai oleh mereka. Ada yang terpaksa catu nak beli barang dapur. Ada yang tak cukup duit nak beli susu dan pampers anak. Ada yang bil api, bil air, sewa rumah tertunggak berbulan-bulan. Ini dah akhir tahun, bayangkan mereka yang ada 4 hingga 6 orang anak, persediaan untuk anak-anak nak pergi sekolah macam mana. RM400.00 memang tidak mencukupi. Nak suruh mereka bergadai ke? Nak suruh mereka berhutang dengan Ahlong atau nak suruh mereka merompak ke Yang Berhormat? Saya khuatir jika kemelut ekonomi ini tidak diselesaikan secepat mungkin masalah, pelbagai masalah akan berlaku. Masalah sosial, masalah keruntuhan institusi keluarga. Gunalah, gunalah reserved negeri Johor yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional, masih banyak lagi kalau tak saya, kalau tak salah saya RM2 bilion masih ada. Gunalah duit tersebut demi nak meringankan beban rakyat Yang Berhormat.

Yang Berhormat Speaker, rakyat berhak dipimpin oleh mereka yang boleh membawa negeri ini ke satu tahap yang jauh lebih baik daripada sekarang. Rakyat tidak sewajarnya dipimpin oleh kerajaan kakistocracy. Sebab ketiga dan saya kira ini adalah sebab yang paling penting kenapa rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan. Sebab ketiga ialah kerana hanya 18 bulan pakatan memerintah, mereka masih gagal untuk menyelami denyut nadi rakyat. Segala keluhan mereka yang disuarakan ibarat mencurah air ke daun keladi. Sebab itu, seperti apa yang Dato’ Hasni sebut bajet ini tiada reflection langsung tentang apa yang berlaku di Tanjung Piai.

Yang Berhormat, saya tidak nampak apa logiknya dalam keadaan ekonomi yang semakin teruk, kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan buat keputusan untuk mengurangkan bantuan dan subsidi kepada rakyat. Lepas itu, minta rakyat ikat perut, tanam sayur dan bersyukur. Tak cukup dengan itu, kata mereka pemalas. Manusia yang mana tak marah mendengar kata-kata itu. BRIM dihapuskan menjadi BASAH. Kurangkan bantuan untuk orang bujang. Kurangkan bantuan persekolahan, tidak ada lagi geran untuk peneroka. Kurangkan elaun sara hidup untuk FELDA. Malah bukan itu sahaja, cukai tanah pula dinaikkan. Perkenalkan SODA tax, Digital tax. Tambah lagi AES dekat lebuh-lebuh raya.

Dan pada awal tahun depan tanggal 1 Januari 2020, majoriti rakyat Malaysia akan dihadiahkan dengan hadiah yang sangat istimewa, beban subsidi minyak bersasar. Apa

kerajaan nak buat dekat rakyat sebenarnya. Nak bunuh rakyat ke Yang Berhormat? Tolong lah. Saya merayu tangguh dulu pujuk dengan kerajaan pusat supaya subsidi minyak bersasar ini ditangguhkan. Cukup-cukuplah nak bebankan rakyat, mereka sudah sampai ke hadnya. Kalaupun tidak mahu mengurang, jangan ditambah pula beban mereka. Wahai kerajaan Pakatan Harapan, rasailah denyut nadi rakyat, punyailah sikit hati dan perasaan simpati terhadap mereka. Rakyat adalah tanggungjawab kita untuk dibela bukan untuk diseksa. Saidina Umar Al-Khatab r.w pernah berkata, sebagai khalifah ketika rakyat berada di dalam kesusahan aku lah yang berada di barisan yang paling hadapan. Dan bila rakyat berada di dalam kesenangan aku berada di barisan yang paling belakang.

Yang Berhormat Puan Speaker, itulah tiga sebab utama mengapa rakyat kecewa dan hampa dengan kerajaan Pakatan Harapan. Adalah tidak adil untuk rakyat dipimpin oleh kerajaan kakistocracy yang munafik dan gagal pula merasai denyut nadi rakyat. Jangan menzalimi diri sendiri Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan yang lebih penting jangan menzalimi rakyat. Ternyata kerajaan Johor hari ini tidak dapat memikul tanggungjawab menambah makmur negeri Johor dan membela nasib rakyatnya. Pada hemah saya, satu tindakan drastik dan berani perlu diambil untuk mengubah nasib kita di Johor. Tukar MB sudah, rombak barisan EXCO pun sudah. Apakah hasilnya? Keadaan tetap sama, malah keadaan semakin kritikal. Justeru itu, dengan penuh keinsafan dan demi sayangnya saya kepada negeri Johor ini, saya ingin mencadangkan supaya DUN Johor dibubarkan. Sekiranya kita gagal membela nasib mereka, kembalikan sahaja kuasa kepada rakyat untuk menentukan masa depan mereka. Itulah pemimpin yang adil, itulah pemimpin yang bertanggungjawab.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah.

Wassalammualaikum warahmatulahiwabarakatuh.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok 25 November 2019, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.05 petang.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Timbalan Speaker

Jurutulis Cik Hajah Shubanah binti Yusuf, SIJ., PIS.

Penolong Jurutulis Encik Hasnul Atmam bin Othman Puan Farrah Diana binti Mohammad

Ketua Unit Dewan Puan Hajah Asiah binti Moklis, PSI.

Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Zalinah binti Ali, PSI. Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Rumiah binti Sumirono Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norlydialina binti Ithnin Puan Norhafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail

Rakaman Encik Azizan bin Md. Sidi Encik Khairul Anwar bin Umar Usman

Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar