Johor · 14 May 2020

3rd session, 1st meeting · 7 turns · 971 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Memanggil Dewan Negeri Untuk Bermesyuarat.

Jurutulis

“Pemasyhuran oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

Bahawasanya, diperuntukkan oleh Pecahan Fasal (1) Fasal 23 dalam Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, bahawa Raja hendaklah dari satu masa ke satu masa memanggil Dewan Negeri mengadakan mesyuaratnya.

Maka oleh yang demikian, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan sebagaimana di atas, dengan ini memanggil Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 14 Mei 2020, jam 9.30 pagi sebagai tarikh dan waktu bagi memulakan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Dewan Persidangan Dewan Negeri, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Bismillahhirrahmaannirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera.(Bacaan selawat).

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita akan memulakan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Selaras dengan peruntukan di bawah Fasal 26, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan bertitah kepada Dewan Negeri pada pagi ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya tangguhkan sementara Persidangan ini bagi mempersilakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat masuk ke dalam Dewan Persidangan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif diminta terus berada di tempat duduk masing-masing dan dipohon berdiri hormat apabila Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat masuk.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan bertitah kepada Dewan Negeri.

DYMM Sultan Johor : Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat saya hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 pada pagi yang berbahagia ini.

Saudara saudari sekalian, pada ketika ini kita masih lagi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang diwartakan kerajaan Persekutuan bagi menangani penularan wabak Covid-19. Namun begitu, Persidangan Dewan Negeri hari ini terpaksa

saya panggil bagi memenuhi syarat yang termaktub dalam Fasal 23(1), Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, yang mana tidak boleh dibiarkan Dewan ini tidak mengadakan mesyuaratnya selama 6 bulan dari tarikh mesyuarat yang terakhir. Oleh yang demikian, mesyuarat ini haruslah dibuat dengan seberapa singkat yang boleh dan kemudiannya ditangguhkan ke satu tarikh yang lain apabila keadaan telah kembali pulih sepenuhnya.

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, setiap Ahli Dewan mestilah tunjukkan teladan yang baik dengan menjaga adab dan tatatertib di dalam Dewan ini. Biarlah Dewan Negeri Johor menjadi contoh kepada negeri lain. Semua Ahli Dewan juga haruslah berganding bahu untuk membantu rakyat yang sedang susah berhadapan dengan wabak Covid-19.

Sekarang bukanlah masanya untuk bertegang urat, bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi, kerana tindakan sebegini akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan. Virus ini nampaknya telah pun menular di kalangan pemimpin politik, apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa yang merunsingkan rakyat serta menggugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara. Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat, asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri sendiri. Virus ini mudah merebak melalui saluran media sosial yang bebas dengan dibantu oleh agen media dan cyber-tropers yang menjadi batu api membangkitkan isu sensasi, untuk menambah api kebencian di kalangan pemimpin politik dengan rakyat. Saya berharap virus perpecahan ini dapat dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang telah kita bina sekian lama.

Saudara saudari sekalian, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan atau frontliners dan semua pihak yang terlibat dalam menangani wabak covid-19 ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang telah menghulurkan bantuan sewajarnya di waktu rakyat berhadapan dengan cabaran yang tidak diduga ini. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat supaya sama-sama bertanggungjawab menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mengamalkan norma hidup yang baharu, seperti amalkan penjarakan sosial dan memakai face mask di tempat awam. Saya percaya, dengan semangat bekerjasama dan sikap prihatin antara satu sama lain, kita akan dapat mengharungi dugaan yang mencabar ini.

Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga wabak yang melanda negara akan segera hilang dan semua rakyat dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalani hidup yang sejahtera. Saya juga berdoa, semoga negeri Johor kekal aman dan makmur, maju membangun dengan rakyat yang hidup bersatu padu dan bermuafakat.

Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya merasmikan Persidangan Penggal Ketiga Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Ampun Tuanku, Mufti Negeri Johor Mohon Perkenan Membaca Doa.

Jurutulis

DOA PEMBUKAAN PENGGAL PERSIDANGAN. (Mufti Negeri Johor baca doa).

Speaker

Ampun Tuanku, adalah patik Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian, Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat meninggalkan Majlis ini. Maka saya tangguhkan mesyuarat ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 9.55 pagi.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Speaker

Jurutulis Cik Hajah Shubanah binti Yusuf, SIJ., PIS.

Penolong Jurutulis Encik Hasnul Atmam bin Othman Puan Farrah Diana binti Mohammad

Koordinator Puan Hajah Norela binti Osman

Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop

Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar