Johor · 6 September 2021

4th session, 1st meeting · 103 turns · 17,334 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh selamat pagi, salam sejahtera. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini kita akan menyambung Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 bagi hari yang keempat.

Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berhormat Bentayan, jemput.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Terima kasih Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 1.

Nyatakan jumlah vaksin dan jadual yang akan diterima dan telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Johor dari Pharmaniaga?

Speaker

Yang Berhormat Yong Peng, jemput.

Puan Chew Peck ChooDAP · PHYong Peng

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 2.

Berapakah jumlah vaksin Sinovac yang akan dan telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Johor dari Pharmaniaga?

Speaker

Yang Berhormat Kota Iskandar, jemput.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 3.

Kerajaan Johor mensasarkan akhir Oktober untuk mencapai imuniti Kelompok. Berapakah jumlah vaksin yang telah dibeli oleh kerajaan bagi membantu bekalan vaksin dari KKM bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai termasuk melalui peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0?

Speaker

Yang Berhormat Pekan Nenas, jemput.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 4.

Bahan kerja Jabatan Kesihatan semakin berat pada masa pandemik Covid-19. Apakah usaha kerajaan negeri untuk bersama-sama memikul beban kerja Jabatan Kesihatan untuk memastikan kerja membanteras Covid-19 boleh dijalankan dengan lebih lancar?

Speaker

Yang Berhormat Bukit Batu, jemput.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHBukit Batu

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 5.

Sila nyatakan berapa dos vaksin Sinovac yang telah dibeli oleh Kerajaan Johor daripada Pharmaniaga dan kos terlibat?

Speaker

Yang Berhormat Bekok, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 6.

Berapakah kos perbelanjaan pembelian vaksin bagi rakyat negeri Johor dan apakah usaha-usaha yang dijalankan untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat Johor?.

Speaker

Yang Berhormat Jementah, jemput.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.

Apakah Kerajaan Negeri Johor berhasrat untuk membeli vaksin Covid-19? Sekiranya ya, berapakah peruntukan akan disediakan dan jumlah dos dan adakah kerajaan negeri akan menambahkan lagi jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Johor?

Speaker

Yang Berhormat Pekan Nenas, jemput.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 8.

Apakah perkembangan pembelian vaksin kerajaan Johor dengan peruntukan RM40 juta.

Speaker

Yang Berhormat Penggaram, jemput.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 9.

Kerajaan telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM40 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Johor 3.0 untuk pembelian vaksin bagi Bangsa Johor. Apakah status terkini pembelian vaksin tersebut dan golongan yang disasarkan di dalam pakej ini?

Speaker

Yang Berhormat Pulai Sebatang, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 10.

Adakah kerajaan negeri berhasrat membeli vaksin untuk digunakan kepada golongan sasaran seperti pengusaha kecil sederhana dan peniaga bagi merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negeri?

Speaker

Jemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pertama, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yong Peng, Bentayan, Kota Iskandar, Pekan Nanas, Jementah, Bukit Batu, Bekok, Penggaram dan Pulai Sebatang atas soalan-soalan yang dikemukakan.

Izinkan saya menjawab soalan berkaitan pertama, jumlah vaksin dan jumlah penerimaannya. Yang kedua, berkenaan dengan inisiatif kerajaan negeri terhadap

pembelian vaksin dan yang ketiga usaha untuk meringankan beban kerja Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Saya mohon untuk menjawab secara bersekali.

Yang Berhormat Tuan Speaker, vaksin merupakan komponen utama kepada Exit Strategy untuk pulih daripada pandemik ini. Oleh itu, kerajaan negeri telah menetapkan sasaran seramai 100% populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas untuk menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 16 September 2021 dan lengkap 2 dos menjelang minggu ketiga Oktober 2021. Sehingga 4 September 2021, seramai 83.08% bersamaan dengan 2,253,168 penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin. Manakala 52.61% atau bersamaan 1,426,866 telah lengkap 2 dos. Untuk rekod, jumlah vaksin yang telah diterima oleh negeri Johor di bawah Program Imunisasi COVID Kebangsaan bermula tarikh permulaan vaksinasi di negeri Johor dalam tempoh 1 Mac 2021 hingga 5 September 2021 adalah sebanyak 4,713,800 dos. Vaksin yang diterima ini merangkumi vaksin Pfizer dengan jumlah sebanyak 2,460,510 dos, vaksin Sinovac sebanyak 1,842,540 dos dan Astra Zeneca sebanyak 410,750 dos.

Pada masa yang sama, sebagai tanda persahabatan yang erat di antara negeri Johor dan negara Singapura, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai 2021 yang lalu. Pada masa terdekat ini pula, pemerintah Singapura akan menyumbang sebanyak 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan negeri Johor. Tambahan lagi kerajaan negeri juga menerima 300,000 dos vaksin Sinopharm hasil sumbangan daripada Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu.

Sehubungan itu, dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan rasa terima kasih kepada Mantan Menteri Luar Negeri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein atas usaha untuk mendapatkan dan memudah cara proses penerimaan vaksin tersebut ke Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri berhasrat untuk mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk sama ada warga negara dan bukan warga negara yang berada di Johor khususnya bagi sektor industri. Oleh itu, kerajaan negeri telah menjalankan kerjasama strategik bersama pembekal-pembekal vaksin untuk menjual bekalan vaksin mereka ke Johor. Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah melantik Johor Bio Technology dan Bio Diversity Corporation, (J-Biotech) untuk menyelaras bekalan vaksin yang diperoleh melalui pembelian. Setakat ini J-Biotech telah menjalankan kerjasama dengan Pharmaniaga melalui Syarikat Seaview Health Tech Sdn Bhd bagi bekalan vaksin Sinovac. Sejumlah 1 juta dos vaksin telah diperuntukkan untuk diberikan di negeri Johor di bawah inisiatif sama.

Selain daripada itu, JBiotech sedang dalam proses untuk menjalinkan kerjasama dengan Duopharma Biotech Berhad bagi bekalan vaksin Sinopharm dan Solution Biologics untuk vaksin Cansino. Usaha ini bertujuan untuk memastikan bekalan vaksin di Johor sentiasa mencukupi termasuklah jika ada keperluan untuk memberikan booster jab pada masa akan datang. Sejajar dengan hasrat di atas, pada 6 Ogos yang lepas, kerajaan negeri telah melancarkan Johor Vaccine Imunitation Plan (J-VIP) dengan kerjasama JBiotech yang mewakili kerajaan negeri dan KPJ Health Care Berhad sebagai pengendali kesihatan. Immune Plan Johor pula berperanan sebagai platform tunggal untuk menyelaras proses pendaftaran, pembayaran dan juga pengeluaran sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera.

Impak daripada program ini, adalah pertama, pekerja-pekerja dalam pelbagai sektor industri dapat di vaksin secepat mungkin. J-VIP memberi pilihan kepada majikan untuk menyuntik vaksin kepada pekerja-pekerja mereka dengan harga RM350.00 setiap individu. Sebanyak 530 syarikat telah berdaftar untuk program J-VIP dan 3,899 orang telah di vaksin sejak program ini dibuka pada 6 Ogos 2021.

Impak yang kedua, program ini memudahkan perancangan pihak industri dan sektor swasta untuk membuka semula perniagaan mereka yang terkesan akibat COVID-19 dengan selamat dan tersusun.

Sementara impak yang ketiga kepada program ini, pihak kerajaan pula secara langsung dapat memberi fokus untuk mengoptimakan peruntukan vaksin di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJABV) ataupun yang diperolehi melalui sumbangan pihak tertentu kepada rakyat awam yang mendaftar.

Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan meringankan beban kerja Jabatan Kesihatan pula, berbagai inisiatif dan langkah strategik telah diambil oleh pelbagai agensi di setiap peringkat pelaksanaan bagi memikul beban kerja Jabatan Kesihatan Negeri sebagai contoh Kementerian Kesihatan di peringkat pusat, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan RELA, RELAWAN Rakyat, Jabatan Pertahanan, Southern Volunteers, merupakan salah satu daripada sukarelawan yang digerakkan dan juga telah mengadakan berbagai program, kempen yang dilaksanakan oleh agensi-agensi yang saya sebutkan tadi. Tidak lupa juga akan peranan Pejabat Daerah, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampung serta Jabatan Perpaduan di peringkat daerah-daerah. Dalam aspek pematuhan kepada SOP dan pembudayaan norma baru pula, peranan pemimpin masyarakat telah diperkasakan menerusi Program Inisiatif Pemimpin Advokasi COVID atau IPAC. Melalui program ini sedikit sebanyak ia telah meringankan beban kerja Jabatan Kesihatan dan agensi-agensi penguatkuasaan dalam memastikan kepatuhan dan pembudayaan norma baru diikuti oleh rakyat Johor secara umumnya.

Pada masa yang sama, Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga melancarkan inisiatif Virtual Covid Assessment Centre (VCAC) yang bertujuan untuk memudah cara pengurusan pesakit positif COVID-19 dan pencarian kontak rapat selain dapat mengurangkan keberadaan fizikal individu di ke semua 11 pusat pemberian, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang beroperasi di negeri Johor. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Ya, Pekan Nanas, jemput.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, menurut kajian daripada Pfizer dan Biontech keberkesanan vaksin menurut selepas suntikan vaksin selepas setengah tahun, adakah kerajaan merancang untuk menyalurkan vaksin yang diberi oleh kerajaan melalui peruntukan RM40 juta untuk melancarkan penyuntikan vaksin dos ketiga kepada frontliners yang terdiri dari pegawai kesihatan, doktor dan jururawat untuk meningkatkan perlindungan mereka untuk menghadapi risiko yang tinggi sepanjang masa mereka menjalankan tugas harian. Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Yang Berhormat Tuan Speaker, kenapa kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi tujuan pembelian vaksin, Pertama, kita semua sedia maklum bahawa pada satu peringkat sebelum tibanya bulan Ogos kita dapati bahawa kadar vaksinasi di Johor adalah amat rendah. Maka itu, kita sewaktu merancang Pakej Rangsangan Ekonomi merasakan bahawa kerajaan perlulah mengambil langkah pro-aktif dengan membeli vaksin. Walau bagaimanapun, kaedah pembelian vaksin itu setelah kita bincang dengan pembekal-pembekal seperti Pharmaniaga, seperti Duopharma, seperti Solution Biologics kita dapati bahawa kerjasama antara pembekal-pembekal swasta yang dilantik oleh Pharmaniaga atau Duopharma ataupun Solution Biologics adalah kaedah yang lebih munasabah. Maka, dalam suasana bulan April, Mei, Jun, Julai di mana vaksin yang begitu rendah dibekalkan kepada negeri Johor, kita mengambil langkah tersebut.

Selain daripada kita menjangkakan perlunya kita membeli vaksin ini untuk membantu industri dan juga pihak swasta kita juga mengambil langkah-langkah menjalankan lebih

banyak lagi ujian di lapangan dengan kerajaan membeli Test Kit, RTK Antigen atau RTK Saliva bagi memperkukuhkan lagi urusan kita menjalankan konteks vaksin. Selain daripada kita menjalankan dalam usaha untuk membuat testing, kita tambah baik dari segi kita menjalankan contact tracing, pusat-pusat seperti mana saya katakan tadi, assessment centre juga kita tambah baik. Kerajaan mengakui bahawa berlakunya kesesakan di pusat-pusat assessment centre, maka dengan itu kita telah mengambil langkah untuk melaksanakan secara virtual, secara digital bagi meringankan beban contact tracing ini. Ini adalah usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan berkaitan dengan hal kita menguruskan vaksin dalam keadaan bekalan yang amat sedikit. Itu yang saya faham soalan Yang Berhormat, ya. That is what I understand. So, macam...

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker sebenar soalan saya lebih fokus kepada pemberian vaksin ketiga kepada frontliners kita kerana kita dah ambil vaksin dalam masa yang agak lama dan menurut kajian yang dijalankan iaitu keberkesanan vaksin akan menurun selepas setengah tahun pengambilan vaksin. Sebab itu, adakah kerajaan bersedia menggunakan peruntukan yang memberi vaksin tersebut untuk salur kepada frontliners? Sebab itu ada sedikit tercicir. Yang penting adakah vaksin yang kita beli boleh dirancang untuk salur kepada frontliners kerana risiko mereka agak tinggi.

Speaker

Ok, jemput Yang Berhormat.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Terima kasih atas soalan Yang Berhormat. Sesungguhnya wajar sekiranya keperluan untuk vaksinasi ketiga atau booster jab diperlukan. Saya percaya bahawa kerajaan pusat akan membentuk satu dasar berkenaan dengan meningkatkan antibodi ataupun meningkatkan daya ketahanan diri bagi mereka yang telah, frontliners khususnya, yang telah menerima dos lengkap. Walau bagaimanapun, kita akan mengikuti dengan rapat perkembangan-perkembangan atau dasar-dasar di peringkat kerajaan pusat.

Sementara itu, sekiranya kita memerlukan bukan hanya untuk dos ketiga ataupun booster jab ini yang lebih penting ialah yang bawah 18 tahun. Pelajar-pelajar, golongan mahasiswa, belia yang berada di bawah 18 tahun, kita harapkan kerajaan pusat akan dapat menyegerakan dasar bagi suntikan di bawah 18 tahun. Kerana, saya amat yakin dan percaya seperti yang saya katakan tadi bahawa kita akan mencapai kadar vaksinasi yang tinggi pada 5 hari bulan sahaja, semalam Johor di peringkat populasi dewasa, kita telah pun mencapai 83.1% bagi dos pertama dan 52.6% bagi dos lengkap. Maka, kalau kita sasarkan kesemua ini, yang boleh kita capai pada penghujung atau minggu ketiga bulan Oktober, saya yakin selepas daripada itu, kita boleh memulakan atau mungkin lebih awal bagi mereka di bawah umur 18 tahun. Terima kasih.

Speaker

Ya, Kota Iskandar.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Daripada angka-angka disebutkan yang saya boleh simpulkan tadi, bahawa Johor yang telah confirm kita ada vaksin ialah sebanyak 5,035,440. Sedangkan yang kita perlukan untuk dewasa lebih daripada 18 tahun negeri Johor berjumlah 2.8 juta dikalikan dua dos adalah 5.6 juta. Makna masih berlaku kekurangan di sana. Dan, soalan saya apakah jaminan bahawa proses pembelian daripada Pharmaniaga tadi iaitu vaksin Sinovac boleh sampai pada jumlah dan masa ditetapkan?

Unjuran daripada itu juga, saya rasa kerajaan negeri tidak boleh menunggu kerajaan pusat membuat tindakan ataupun polisi yang baru. Kerajaan negeri perlu proaktif untuk approach kerajaan pusat supaya pemberian peruntukan vaksin itu ditambah selari dengan ucapan Menteri Kesihatan yang baru bahawa dia akan memberikan vaksin kepada 5 negeri yang agak severe cases nya melibatkan juga salah satu negerinya adalah Johor.

Sedikit pembetulan yang saya nak sebut, maaf Yang Berhormat Speaker sekiranya pandangan saya ini tidak tepat. Secara matematik disebut tadi bahawa vaksin untuk satu dos pertama berjumlah 83.1%. Secara matematiknya, saya mengikuti apa yang laporan yang dibuat itu. Sebenarnya laporan itu adalah accumulate ya. Dia tambah, setiap hari dia tambah, setiap hari dia tambah, dia tidak berkurangan. Secara matematik dia adalah salah, sebab dos yang kedua kalau katalah semalam kita dos 50 untuk second dose, 50 orang ini bukannya baru. 50 orang ni datangnya daripada yang telah menerima 1 dos pertama. Sepatutnya jumlah 1 dos ini mesti berkurangan bila mana vaksin untuk dua dos ditingkatkan. Sekian, Yang Berhormat.

Speaker

Jemput, Yang Amat Berhormat.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Terima kasih Yang Berhormat Kota Iskandar. Yang Berhormat Tuan Speaker, kaedah kita menguruskan pemberian vaksin ataupun kita memberi suntikan vaksin ini, didapati bahawa ianya semua berbentuk kumulatif, termasuklah apabila kita melaporkan kes COVID yang berlaku macam komuniti hari ini mencecah pada kadar 63.7% adalah merupakan sumber positiviti yang berlaku dalam kita membuat laporan. Sementara industri hanya 33.2%, berbeza dengan peringkat kebangsaan di mana kes industri itu lebih tinggi. Tapi, kita di Johor kes dalam komuniti terlebih tinggi sehingga 63.7% daripada keseluruhan kes yang kita dapati.

Jadi Yang Berhormat, itu adalah kaedah yang digunapakai oleh Kementerian Kesihatan dalam pelaporan mereka. Kalau kita secara mudahnya adalah yang dos pertama sebaik-baiknya kita capai 100% dalam masa yang secepat mungkin. Jadi, sebab itu walaupun kita ada vaksin, tetapi sekiranya daerah tidak dapat menampilkan ataupun mereka tidak mendaftar dengan MySejahtera untuk dos pertama, kita tak boleh nak gunakan vaksin yang ada itu untuk menyuntik ataupun untuk meningkatkan ini apa nama, dos pertama. Jadi, kita perlu jumlah vaksin yang cukup, yang telah disusun oleh Jabatan Kesihatan Negeri supaya kita ramp up, kita capai 100% dos pertama supaya kita boleh mulakan. Sebab itu kita menjangkakan pada minggu ketiga Oktober, kita akan capai lengkap. Kerana, pada pertengahan bulan September ini, kita menjangkakan kita boleh capai 100% dos pertama. 21 hari daripada situ barulah boleh disuntik dos kedua. Ianya tidak boleh berlaku sebaik sahaja selesai dos pertama mulakan dos kedua. Kita ada dia punya tempohnya.

Jadi, sebab itu, cara dan kaedah pengurusan ini, pelaporan ini maksud saya sebegitu rupa dan kita percaya kerana mereka pakar dan mereka ada kaedah yang saya amat yakin dan percaya menjadi amalan secara profesional practice ataupun secara globalnya begitulah kaedah yang dibuat dalam setiap pelaporan-pelaporan berkaitan dengan suntikan dos pertama dan juga suntikan dos kedua. Jadi, pelaporannya begitu Yang Berhormat. Dan, kita mudah nak faham kenapa dos kedua masih jauh rendah adalah kerana ianya ada tempoh masa, tempoh tertentu sebelum vaksin kedua atau dos kedua itu dapat diberikan. Terima kasih.

Speaker

Saya bagi dua jelah soalan eh. Seterusnya Yang Berhormat Pasir Raja, jemput.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 11.

Berapa ramaikah sukarelawan Southern Volunteers yang berdaftar di dalam DUN Pasir Raja?

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan · Layang-Layang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, menjunjung kasih ke atas Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah

menitahkan supaya Southern Volunteers digerakkan secara besaran membantu kerajaan negeri menjayakan Program Imunisasi COVID-19 dan membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID -19. Syukur Alhamdulillah, berkat semangat Muafakat Johor, kepimpinan negeri yang diterajui Yang Amat Berhormat Menteri Besar, dibantu, didokong dan disokong oleh ADUN-ADUN, agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat, pegawai-pegawai daerah, Datuk-Datuk Bandar, Ahli-Ahli Yang Dipertua, Penghulu, Ketua-Ketua Kampung dan terutamanya anak-anak muda yang kita sayangi, Southern Volunteers dapat digerakkan secara efektif dan berkesan membantu Bangsa Johor sehingga ke peringkat akar umbi.

Yang Berhormat Speaker, seperti yang telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada 11 Ogos 2021, itulah kelebihan Johor. Semua pihak berganding bahu untuk matlamat yang sama iaitu Johor dan kebajikan rakyatnya. Raja, pemimpin dan rakyat berpisah tiada. Muafakat itu berkat. Menjawab soalan Pasir Raja, sehingga terkini seramai 19,116 orang telah didaftarkan sebagai Southern Volunteers di seluruh negeri Johor. Daripada bilangan tersebut seramai 188 orang telah didaftarkan sebagai ahli Southern Volunteers di DUN Pasir Raja. Terima kasih.

Speaker

Soalan, Pasir Raja jemput. Soalan tambahan.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Menjunjung Kasih Ke Bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah menitahkan supaya Southern Volunteers digerakkan membantu rakyat Johor dalam menangani pandemik COVID-19. Soalan tambahan saya, apakah peranan yang dimainkan oleh Southern Volunteers semasa pandemik ini? Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan · Layang-Layang

Terima kasih Pasir Raja. Yang Berhormat Speaker, semasa pandemik ini, gerak kerja Southern Volunteers dibahagikan kepada 3 Fasa. Fasa pertama, Southern Volunteers ataupun lebih dikenali sebagai SV dengan kerjasama MIVEC telah digerakkan bagi membantu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri Johor. Yang terbaru SV bergerak membantu di PPV OKU Khas di Pusat Akuatik Arena, Larkin. Bagi meringankan beban barisan hadapan, SV diberikan tanggungjawab di 3 kaunter di PPV, selain itu membantu warga emas yang memerlukan bantuan, membuat panggilan telefon untuk mengingatkan rakyat tentang temu janji mereka di PPV masing-masing. Di kesempatan ini, Layang-Layang ingin menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah mengurniakan sumbangan kepada setiap PBT dan PPV di seluruh negeri Johor.

Yang Berhormat Speaker, untuk fasa kedua pula, SV digerakkan bagi membantu rakyat dari segi pendaftaran vaksin. Seperti yang dikongsi oleh Yang Berhormat Buluh Kasap tempoh hari, sebelum ini pada bulan Mei 2021, kadar pendaftaran vaksin adalah pada tahap 53.4%. Kerajaan negeri sedia maklum bagi mencapai imuniti kelompok selain daripada bekalan vaksin yang mencukupi, sekurang-kurangnya 80% rakyat Johor perlu didaftarkan dari segi pendaftaran vaksin. Lantaran itu, syukur Alhamdulillah Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk menggerakkan Southern Volunteers bagi tujuan ini. Anak-anak muda Southern Volunteers telah digerakkan ke setiap pelosok negeri Johor, bergerak rumah ke rumah ke setiap kampung dan taman perumahan bagi tujuan pendaftaran vaksin.

Dan alhamdulillah hari ini, sebanyak 98% bersamaan 2.6 juta bangsa Johor telah membuat pendaftaran vaksin. Bagi fasa ketiga pula dan terakhir setakat ini, Southern Volunteers digerakkan untuk membantu DO-DO dan PBT-PBT menghulurkan bantuan kepada rakyat Johor yang berada dalam keadaan kesempitan. Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyatakan bahawa beliau tidak mahu satu rumah pun mengibarkan bendera putih di negeri Johor ini. Kita semua sedia maklum, Yang Amat Berhormat telah mengumumkan bantuan sebanyak RM8 juta bagi tujuan Gobok Makanan. Southern Volunteers menjadi

sukarelawan bertugas di Pusat-Pusat Gobok Makanan ini. Lantaran itu Yang Berhormat Speaker, sebagai Pengerusi Jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas Southern Volunteers, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan juga kepada anak-anak muda kita di negeri Johor yang tampil ke hadapan untuk menyumbangkan tenaga dan masa untuk kita sama-sama menangani pandemik COVID-19 ini. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Terima kasih Speaker.

Speaker

Soalan yang seterusnya Yang Berhormat Maharani, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 12.

Sila nyatakan pelaksanaan PdPR bagi sekolah-sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Johor sepanjang tempoh PKP sejak tahun 2020 dan sejauh mana keberkesanan proses pembelajaran ini kepada murid, bantuan akses teknologi kepada guru dan murid, dan penambahbaikan yang diperlukan.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Berselawat) Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi menjawab soalan daripada Maharani, sejak negara dilanda COVID-19, bermula daripada bulan April 2020 semua sekolah agama tidak dibenarkan hadir ke sekolah sebagaimana arahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Walaupun sekolah ada dibuka dalam tempoh beberapa bulan, sekolah kembali dilarang mengadakan pembelajaran bersemuka bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ini.

Bagi meneruskan sesi persekolahan Yang Berhormat Tuan Speaker, langkah-langkah berikut telah pun diambil. Yang pertamanya, arahan PdPR telah pun dikeluarkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor kepada PPID untuk dipanjangkan kepada sekolah dan guru-guru. BPI juga telah mengeluarkan arahan berkaitan PdPR ini, pembinaan jadual yang sesuai oleh pihak sekolah bagi menentukan pembelajaran sekolah langkah agihan selama 3 hari bagi tahap 2 dan 2 hari bagi tahap 1 serta agihan masa bagi setiap guru dan kelas-kelas. Guru-guru dan pihak sekolah juga diarahkan untuk membuat laporan pelaksanaan PdPR secara online dan juga offline kepada PPID. PPID pula akan membuat laporan kepada pihak Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Antara kaedah yang dilaksanakan dalam proses PdPR ialah secara online dan offline sebahagian guru melaksanakan secara kertas pada murid-murid dan juga dipulangkan kepada guru selanjutnya arahan diberikan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk ini supaya guru-guru mengajar cara online bagi tahun 2021, 110 buah sekolah menggunakan Platform Al-Bayen-UTM sepertinya google classroom, dengan izin, google form, google meet dan lain-lain aplikasi seperti telegram, Quizzz, Quizalize, Trigger dan sebagainya. Yang melibatkan classroom bagi google classroom seramai 103 buat sekolah. Google form sebanyak 287 sekolah dan google meet sebanyak 603 sekolah. PdPR juga telah dilaksanakan, dapat dilaksanakan walaupun terdapat kekangan-kekangan dalam melaksanakan PdPR ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Yang Berhormat Kemelah, jemput.

Dr. Sulaiman bin Mohd. NorAMANAH · PHKemelah

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 13.

Bantuan bakul makanan telah disediakan oleh pelbagai pihak. Bagaimanakah kerajaan negeri memastikan penyelarasan berlaku dengan baik agar golongan yang benar terkesan tidak ketinggalan dalam menerima bantuan yang mencukupi?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Dr. Chong Fat FullPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Pemanis

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Ketika ini terdapat pelbagai pihak turut menjalankan Program Bakul Makanan seperti Ahli-Ahli Parlimen, ADUN-ADUN, NGO, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Sultan Ibrahim, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Pejabat-Pejabat Daerah melalui Program Gobok Makanan dan juga Ahli-Ahli Majlis.

Bagi program yang dijalankan melalui agensi-agensi bawah kerajaan negeri, penyelarasan dan pemantauan dapat dijalankan dengan sebaiknya iaitu termasuk program yang dijalankan oleh Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN. Tapi bagi Program Bantuan Bakul Makanan yang dijalankan bukan melalui Pejabat-Pejabat Daerah, penyelarasan dan pemantauan tidak dapat dijalankan dengan sebaiknya. Justeru itu, adalah dicadangkan agar penyampaian bantuan dapat diselaraskan dengan Pejabat Pegawai-Pegawai Daerah bagi memastikan tiada pertindihan penerima bantuan berlaku. Sehingga kini seramai 123,942 penerima telah menerima bantuan Bakul Makanan di seluruh negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya Yang Berhormat Perling, jemput.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 14.

Apakah perkembangan terkini untuk Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mohd Solihan bin BadriBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Tenang

Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang mulia terutama Yang Berhormat Perling. Seperti yang kita sedia maklum, Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT), merupakan sistem BRT komprehensif yang pertama di Malaysia bahkan menjadi tulang belakang kepada pengangkutan awam di Iskandar Malaysia apabila perkhidmatan kereta api, perkhidmatan bas itu akan disambung dengan beberapa sistem pengangkutan yang lain seperti sistem RTS, Lapangan Terbang Senai, Larkin Sentral, kawasan-kawasan yang disambung dengan landasan berkembar kereta api dan juga perkhidmatan feri dari Stulang Laut dan Iskandar Puteri.

Saya ingin kongsikan perkembangan terkini sehingga Jun 2021. Status pelaksanaan projek IMBRT berada di tahap 21.57%. Perkhidmatan IMBRT dijangka bermula boleh digunakan pada suku keempat tahun 2023. IRDA telah membelanjakan sejumlah RM151 juta setakat April 2021 untuk memuktamadkan reka bentuk kejuruteraan infrastruktur, menilai reka bentuk, keperluan operasi dan kewangan, kerja-kerja penyiasatan serta pengambilan balik tanah. Reka bentuk terperinci bagi Jajaran Iskandar Puteri telah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dalam masa terdekat. Reka bentuk terperinci bagi Jajaran Skudai dan Tebrau akan dimuktamadkan setelah mengambil kira maklum balas terhadap Jajaran Iskandar Puteri. Dalam masa yang sama, Program Ujian Rintis BRT (Bus Pilot Testing) telah dilancarkan pada 8 April 2021 yang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

Objektif program tersebut adalah untuk mempamerkan bas teknologi hijau yang sedia ada, untuk mendapatkan maklum balas daripada Jawatankuasa Kelulusan Jenis Kenderaan atau WTA, Jabatan Pengangkutan Jalan mengenai mengenai vehicle road worthiness dan untuk mendapat maklum balas daripada pengguna dan agensi yang berkaitan.

Satu kertas kerja Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah diangkat kepada Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor pada Julai 2021, bertujuan untuk mendapatkan kelulusan berhubung pelaksanaan projek IMBRT. IRDA juga telah mengadakan sesi pembentangan dan libat urus laluan perkhidmatan IMBRT bersama agensi-agensi

berkepentingan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan 6 PBT iaitu MBJB, MBIP, MBPG, MPKu, MPPn dan MDKT bagi menyemak laluan dan mendapat sokongan dari setiap PBT. Walau bagaimanapun, team BRT secara berkala sentiasa melaporkan perkembangan terkini projek ini kepada saya. Sekiranya ada halangan di peringkat negeri atau ada penyelarasan yang perlu dilakukan, saya sebagai EXCO Pengangkutan sentiasa akan membantu memberi kerjasama menyelesaikan isu-isu yang berkaitan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, Perling jemput, soalan tambahan.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Terima kasih atas jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Jadi, IMBRT ini dikatakan menjadi tulang belakang. Jadi adakah dia mengambil kira cadangan setiap stesen itu tempat-tempat letak kenderaan, memandangkan kalau kita jadikan ini sebagai satu tulang belakang, pengangkutan awam di dekat kawasan Iskandar, dia menjadikan stesen-stesen itu adakah ia ada tempat letak kereta diambil kira untuk tujuan berkenaan.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mohd Solihan bin BadriBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Tenang

Terima kasih kepada soalan tambahan. Ia memang dalam kajian pihak IMBRT setiap lokasi terutama stesen akan dihubungkaitkan dengan kawasan sekitarnya dengan perkhidmatan bas-bas feeder. Di situlah nanti kawasan atau taman-taman di situ akan mempunyai perkhidmatan bas lain yang juga sebagai pakej kepada bas perkhidmatan IMBRT untuk mengangkut penumpang di sekitarnya dan dibawa ke stesen. Begitu juga yang turun dari stesen untuk pulang ke rumah masing-masing dan itu memang ada dalam perancangan kita sekiranya dapat dilaksanakan sebab itu ia suatu konsep yang atau perkhidmatan yang komprehensif di mana boleh merangkum banyak tempat dan dijangka bila dilaksanakan kelak akan menyelesaikan banyak masalah mengenai pengangkutan awam. Terima kasih.

Speaker

Soalan yang seterusnya, Yang Berhormat Skudai, jemput.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 15.

Berapakah hasil kerajaan untuk setiap Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun 2020, 2021 (unjuran) dan 2022 (unjuran) serta langkah-langkah diambil untuk meringankan beban pembayar cukai M40 dan B40 dalam menghadapi kegawatan ekonomi akibat COVID-19.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Rengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Makmur Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker terima kasih pada Yang Berhormat Skudai atas soalan yang dikemukakan. Soalan yang berkaitan dengan hasil kerajaan untuk setiap PBT bagi 2020, 2021 unjuran dan tahun 2022, maknanya tahun depan dari segi unjurannya. Juga soalan berkaitan dengan langkah-langkah yang diambil bagi meringankan beban pembayar cukai B40 dan juga M40.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam keterbatasan masa ini izinkan saya menjawab bagi 16 buah PBT keseluruhan. Tahun 2020, 2021, tahun 2022 adalah tahun yang cukup mencabar. Tahun yang tidak pernah kita jangka dalam perancangan kita dan tahun-tahun Coronalah orang panggil tahun, 3 tahun ini. Dia mempengaruhi kutipan hasil negeri Johor. Saya rasa bukan negeri Johor saja terkesan malah di seluruh negara, bahkan di seluruh dunia. Alhamdulillah dengan slogan Berdaya Tahan Demi Kemakmuran, kita berdoa dan berharap dan kita yakin mampu mengharungi cabaran ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, berdasarkan penyata kewangan yang belum diaudit bagi tahun 2020, kutipan hasil 16 PBT Johor ialah bagi tahun 2020, RM1.39 bilion atau dari segi pencapaiannya peratusannya 89.21% unjuran yang kita buat ialah RM1.56 bilion. Maknanya pencapaiannya lebih kurang 89.21%. Ringkasnya, Yang Berhormat Tuan Setiausaha, Yang Berhormat Tuan Speaker sasar RM1.56 dicapai RM1.39, peratus pencapaian ialah 89.21% itu berdasarkan akaun yang belum diaudit bagi tahun 2020. Bagi tahun 2021, unjuran kita ialah RM1.58 sehingga 31 Julai kita baru dapat kutip RM849.56 juta atau pencapaiannya ialah dari segi peratus 53.78%. Kalau dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun 2020, iaitu 56% tahun lepas, tahun ini kita cuma dapat 53.78 maknanya berlaku penurunan sebanyak 2.3% di tahun kedua corona ini Yang Berhormat Tuan Speaker.

Bagi unjuran tahun 2022, tahun hadapan, tahun yang kita jangka tahun pemulihan, tahun yang juga kita tak jelas apa cabaran dia, unjuran yang dibuat ialah RM1.61 bilion sebab pemegang taruh kita bertambah dan sebab kita letakkan RM1.61 bilion tetapi tertakluk kepada pemeriksaan pegawai kewangan di setiap PBT dalam Pra Bajet dan tertakluk kepada juga finalnya oleh pihak kerajaan negeri atas inisiatif dan cadangan Bajet bagi 2022, Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya maklumkan secara ringkas sahaja, Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, mungkin hendak diketahui oleh semua Ahli Dewan, bagi tahun 2020 ada 4 buah PBT yang hasil kutipannya mencapai RM100 juta ke atas MBJB RM403; MBIP RM271; MB Bandaraya Pasir Gudang RM174; dan MP Kulai RM111 juta.

Bagi 4 buah PBT yang mencapai kutipan lebih RM50 juta, Majlis Perbandaran Muar RM71 juta; Majlis Perbandaran Batu Pahat RM67 juta; Majlis Perbandaran Kluang RM58 juta; Majlis Perbandaran Pengerang RM50 juta. 4 buah PBT lagi yang mencapai kutipan hasil lebih RM20 juta, Majlis Perbandaran Pontian baru ni RM43 juta; Segamat RM31 juta; Majlis Daerah Tangkak RM25 juta; Majlis Daerah Kota Tinggi RM23 juta. 4 buah lagi majlis daerah yang bawah RM20 juta, Majlis Daerah Yong Peng RM18 juta; Majlis Daerah Simpang Renggam RM13 juta; Majlis Daerah Labis RM12 juta dan Majlis Daerah Mersing hampir RM12 juta.

Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara kedua yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Skudai apakah langkah yang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan bagi membantu meringankan beban pembayar cukai B40 dan juga M40. Seperti kita sedia maklum, Dewan mulia maklum, kerajaan negeri di bawah Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita ada 3 PRE, Ehsan Johor yang bernilai RM490 juta iaitu juga memberi kaitan kepada M40 dan juga B40 di negeri Johor. Selain daripada itu, inisiatif di peringkat pusat pula ada program yang berkaitan dengan PEMERKASA, PEMULIH dan PENJANA yang banyak membantu golongan M40 dan B40.

Yang Berhormat Tuan Speaker, secara spesifik untuk pihak kerajaan tempatan yang berkaitan dengan apa usaha yang dibuat untuk membantu mengurangkan beban pembayar cukai ni, kita tidak mengenakan denda bayar lewat kepada pembayar cukai tidak ada, kalau ada bagi tahu kita insya-Allah kita akan rebatkan pada tahun hadapan.

Yang kedua, tidak ada sebarang operasi,tindakan operasi sitaan dan rampasan bagi pemilik yang mempunyai tunggakan cukai harta di 16 kawasan PBT.

Yang ketiga, walaupun ada kelulusan baru, daripada kelulusan baru atas penilaian taksiran cukai ni tahun 2019, tapi kita tak laksanakan, kita tak kuatkuasakan cuma exercise penilaian itu dibuat kecuali Kulai, MP Kulai telah laksanakan lebih awal. Kemudian kita buat pengecualian bayaran lesen. Yang Berhormat Tuan Speaker, peniaga mikro, peniaga pasar malam melibatkan 23,700 peniaga dengan kehilangan hasil RM5.1 juta, pengecualian bayaran sewa premis melibatkan 45,567 penyewa, kehilangan hasil RM15 juta, Bantuan One-Off kepada 19,000 peniaga mikro dalam agenda berkebajikan dalam Bajet 2021. Selain daripada itu juga, Bantuan One-Off kepada 19,000 peniaga mikro dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Johor 3.0. Bantuan One-Off RM500.00 juga kepada 4,200 pemegang lesen premis gunting rambut dan salon.

Selain daripada itu, yang saya sebutkan tadi, adalah beberapa agenda yang kita buat ialah hasil daripada 1% cukai dan hasil bukan cukai ni bernilai hampir RM10 juta kita buat untuk program bantuan makanan, gerobok makanan, bantuan keperluan asas, kursus kemahiran, bantuan persekolahan. Dan, di bawah perkhidmatan sosial hampir RM3 juta kita bantu untuk meringankan beban.

Dan untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker juga, di bawah kawasan PBT semua PPR dan juga RSK dikecualikan bayaran sewa sebanyak hampir 13,000 unit rumah yang dikecualikan. Dan 3 buah PBT, 3 buah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Pasir Gudang, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Pasir Gudang, menyumbang 60,000 COVID Test Kit bernilai RM980,000.00.

Selain daripada itu, kerja-kerja disinfeksi di 5,589 lokasi dengan nilai RM1.4 juta dan Yang Berhormat Tuan Speaker, ke agenda, perkara lain yang kita buat ialah pengurangan kompaun letak kereta di MBJB 80% kita bagi kompaun dan di MBIP kita bagi kompaun lebih 50 hingga 70%, yang ini kita buat untuk 2 tempat Yang Berhormat. Dan dalam masa yang sama, cabaran kita hadapi 3 tahun ini, kita menggalakkan kejiranan komuniti atau taman untuk melaksanakan kebun komuniti kita bagi bajet RM800,000.00 di pihak kerajaan negeri yang mana PBT kukuh dia membelanjakan duit sendiri untuk menggerakkan pengeluaran barang makanan.

Selain daripada itu, PlanMalaysia dan juga pihak PBT kita akan mempastikan, kita tengah gerakkan agar tanah-tanah terbiar di kawasan PBT digerakkan sebagai kebun bandar dan insya-Allah dalam bulan 9 ni kita akan lancarkan 2 tempat di Johor Bahru satu dan juga di Batu Pahat.

Akhir sekali, Yang Berhormat kita benarkan semua yang terjejas, terkesan akibat COVID-19 ni boleh berniaga di mana-mana kawasan PBT walaupun tidak ada lesen dengan syarat dia tidak mengganggu lalu lintas, dia tak menjejaskan parking dan juga keselamatan, terpenting sekali dia menjaga soal kebersihan. Dan, insya-Allah Yang Berhormat dalam Bajet 2022, kita akan jemput semua ADUN ya untuk memberikan pandangan dan juga cadangan dalam penyediaan Bajet setiap PBT di seluruh 16 buah PBT di negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan berbekalkan simpanan sebanyak RM2 bilion ini, Yang Berhormat, di kawasan 16 PBT ni dan rizab yang ada lebih kurang RM800 juta insya-Allah PBT, 16 PBT akan berusaha merencanakan tahun 2022 ni dengan pendekatan yang lebih berhemah, lebih cermat untuk membolehkan pemegang taruh di kawasan 16 buah PBT ni lebih kondusif. Jadi, kita berharap, mudah-mudahan tahun 2022 menampakkan cahaya yang lebih besar, lebih terang di semua 16 buah PBT. Itu sahaja Yang Berhormat Tuan Speaker. Sekian, terima kasih.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua PBT kerana pencapaian yang tinggi, agak tinggilah dalam tahun COVID ni. Cuma Yang Berhormat Tuan Speaker, kita perlu faham bahawa peranan kerajaan ni bukan untuk cari surplus dalam keadaan kritikal ini kita sebenarnya perlu ada persediaan pada tahun itu kadang kala defisit, tahun defisit jadi adakah kerajaan yakni PBT telah bersedia untuk mungkin menggunakan sebahagian daripada rizab ataupun simpanan supaya kita menanggung sebahagian daripada kehilangan hasil misal kata kita bagi potongan ataupun rebat dari segi cukai harta dari segi cukai taksiran ni, supaya pada satu tahap meringankan tanggungan atau bebanan pembayar cukai. Ini spesifik iaitu adakah PBT ada kebersediaan untuk memberi rebat ataupun potongan ataupun mungkin pengecualian pembayaran cukai taksiran kepada pembayar cukai terutamanya rumah kos sederhana rendah, flat kos rendah dan juga mungkin harta pertama, pemegang harta golongan M40.

Speaker

Jemput YB EXCO, 2 minit sahaja.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Rengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat ADUN Skudai tadi tentang rebat, tentang cukai terutama di kawasan rumah kos rendah, pangsapuri. Dia banyak perkara yang harus kita lihat Yang Berhormat Tuan Speaker, kita tidak boleh melihat berdasarkan jumlah keseluruhan rizab yang ada peringkat negeri juga simpanan kalau kita lihat simpanan itu nampak besar RM1.9 bilion dan rizab ada RM8 bilion jumlah dia besar tapi kalau Yang Berhormat tengok dari segi rekod kewangan, status kedudukan kewangan ia bergantung kepada 4 PBT, yang 4 ini Yang Berhormat yang saya sebutkan tadi ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan juga Kulai.

Bagi Majlis lain Yang Berhormat Tuan Speaker, ia berada dalam keadaan yang macam ada setengah Majlis Perbandaran macam yoyo, saya ingat Yang Berhormat Skudai tahu, dia tahu kedudukan kewangan dulu dia pernah duduk sebagai Pengerusi Kerajaan Tempatan, setengah MP tu, Majlis Perbandaran ni tak kukuh kedudukan kewangannya, kalau kita nak laksanakan program rebat ni Yang Berhormat, kita tak boleh gunakan satu tempat, Yang Berhormat dia mesti menyeluruh di seluruh kawasan negeri Johor. Jadi, itu ada kekangan dia Yang Berhormat. Jadi apa pun kita lihat nanti dalam Bajet 2022 kat mana insentif kepada mereka yang di, apa ni, rumah pangsa, kos rumah kos rendah yang boleh kita bantukan, kita fokus bukan setakat rebat dalam cukai harta dan sebagainya, sebagaimana perkhidmatan langsung ataupun bantuan langsung yang boleh kita kemukakan pada mereka Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih.

Speaker

Jadi, saya tamatkan soalan lisan setakat ini sahaja. Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat hari ini adalah hari yang terakhir untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Esok kita akan mendengar penggulungan daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat.

Perbahasan ini disambung sekarang. Saya jemput, Tiram. 10 minit Tiram.

Terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker atas peluang diberikan. Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Tidak bukan tidak lagi, kita, Tiram kena berbincang mengenai wabak COVID. Wabak COVID adalah malapetaka besar di seluruh dunia. Masyarakat dunia kini telah hilang kehidupan biasa seperti mana sebelum COVID-19 melanda. Berjuta-juta rakyat telah terkorban akibat virus COVID-19 yang merebak dan membunuh orang. Hampir seluruh negara-negara dunia terjejas dari segi ekonomi, sosial bahkan politik sendiri. Beberapa kerajaan jatuh sebabkan krisis COVID-19, rakyat dunia hilang pekerjaan. Kebanyakan industri-industri telah terjejas dan terpaksa tutup. Institusi pendidikan ditutup dan mereka belajar secara maya, terjejasnya mutu pendidikan. Ini adalah suatu malapetaka yang bersejarah, rasa tidak pernah belaku dalam dunia. Keadaan ini lebih teruk dibandingkan dengan Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Setiap negara sedang amalkan beberapa langkah untuk membendung virus ini daripada merebak. Ada beberapa negara

telah berjaya membendung virus ini dan mereka sedang hidup seperti biasa, negara-negara seperti China, Amerika, New Zealand, England, Australia dan sebagainya.

Pandemik COVID-19 sudah mula merebak ke negara kita awal tahun 2019. Pakatan Harapan hilang kerajaan kerana beberapa lompatan dari PH ke PN. Mereka mendirikan kerajaan dengan sokongan BN, BN menjadi PN, sekarang sudah balik semula BN. Sejak itu PN yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah COVID, pada awalnya PKP, PKPB, PKPD dan beberapa jenis PKP. Pada ketika ini kes COVID-19 berkurang sedikit tetapi selepas Pilihanraya negeri Sabah, kes COVID-19 melonjak tinggi. Di situ juga beberapa kesilapan dilakukan oleh kerajaan PN untuk mengawal virus ini. Kemudian diadakan darurat kononnya untuk mengawal COVID-19 tetapi kami tidak berkesan langsung. Kami berharap kesnya akan turun tetapi ia melonjak ke langit. Kes COVID-19 sebelum darurat 11 Januari 2021, kes baru 2,232; 4 sahaja kematian baru. Selepas tamatnya darurat, 1 Ogos 2021, kes baru ialah 17,150 kes baru. Kes kematian pada ketika itu ialah 160. Jadi bandingkanlah selepas dan sebelum darurat, apakah kesannya? Kita berjaya ataupun tidak. Apakah tindakan ataupun langkah-langkah yang telah diambil oleh KKM ataupun kerajaan PN untuk membendung COVID-19 ataupun mengawal keadaan selain daripada mengurung manusia, apakah tindakan lain? Tindakan kurungan bukan keseluruhannya. Bandingkan dengan negara-negara lain yang mengamalkan beberapa tindakan yang berguna dan berjaya.

COVID-19 bermula dari Wuhan, China. Pada awalnya ramai terkorban di Wuhan. Kini mereka boleh mengawal keadaan. Tindakan mereka memang berhasil tetapi apakah tindakan kita, aktiviti-aktiviti? The only, dengan izinnya, the only weapon we attack COVID is vaccine, rather than vaccine, what is our activity? Kalau kita bandingkan dengan negara-negara lain seperti China ada banyak aktiviti. Penutupan seluruh bandar, China telah melakukan kerja-kerja pembendungan terbaik dengan mengisytiharkan darurat ketat pada 23 Januari lalu di Wuhan serta 15 bandar lain di Wilayah Hubei bagi menekankan wabak itu daripada terus menular. Seramai 56 juta penduduk terkesan dengan pengisytiharan itu di mana-mana pintu pengangkutan awam, bas, keretapi, penerbangan, feri, premis perniagaan, kilang-kilang, pejabat semuanya telah ditutup rapat. Penguatkuasaan ketat China juga turut memperketat sistem pengangkut penguatkuasaan tentera dan polisnya dengan menahan serta mengurung individu yang melanggar kesalahan di kala penularan wabak tersebut.

Pesanan khidmat masyarakat bagi langkah pencegahan. Pesanan khidmat masyarakat juga sering disebar luas kepada orang awam dengan menggalakkan mereka mencuci tangan dengan lebih kerap dan mengurangkan perjalanan agar tidak membebankan penguatkuasa kesihatan. Mereka mengawal rapi. Pergerakan dipantau. Selain itu, seluruh kejiranan turut dikawal oleh Penguatkuasa yang melakukan rondaan serta pemeriksaan keluar masuk terhadap pelawat yang berkunjung ke semua kawasan perumahan, contohnya taman-taman, kampung-kampung, segala-galanya. Apakah kita di Malaysia? Mendirikan pondok sanitize di setiap orang berkumpul, sejenis teknologi yang paling tinggi, sesiapa yang melawat ke kawasan yang ramai berkumpul, mereka boleh masuk keluar pondok tersebut untuk sanitasi.

Proses nyahkuman yang kerap berlaku di sana. Setiap jalan dan bangunan turut dibersihkan dengan penyemburan cecair pembasmi kuman dan lakukan dengan kekerapan dan sampai maksimum. Penggunaan cahaya UV, firma pengangkutan awam, mengubah kabuk pembersihan bas henti-hentinya kepada kabuk cahaya UV untuk tujuan nyahkuman pada rangkaian basnya. Proses yang sebelum ini mengambil masa 40 minit untuk mereka ditambah baik dengan hanya menggunakan tempoh 5 minit bagi setiap bas. Malah petugas-petugas kesihatan turut dikerahkan dari seluruh China hanya untuk membantu merawat pesakit yang dijangkit virus pembunuh itu.

Pembinaan hospital, dalam dua hari sahaja, dua minggu sahaja menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat setiap hari. Pada kesimpulannya, Tiram memohon lebihkan aktiviti

yang boleh hapuskan Corona Virus selain daripada mengurung manusia dan weapon our vaccine sahaja.

Speaker

3 minit lagi Yang Berhormat.

Tiram mengharap kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah yang komprehensif bagi membendung penularan COVID-19. Tuan Speaker, beralih pada satu isu tempatan. Stadium Pasir Gudang yang kini merawat pesakit COVID-19, apa yang risau dan sedihnya adalah pesakit ataupun yang ingin membuat swab test terpaksa beratur ataupun berbaris 2 hingga 5 km, long queue dalam kereta. Mereka mengambil masa dua hingga tiga jam untuk swab test sahaja. Mereka terseksa dalam kereta, ketahanan sakit ataupun lima atau enam orang dalam satu kereta, apakah nasib mereka?

Tiram bercadang pada pihak bertanggungjawab sila mencari jalan yang baik untuk menyelesaikan masalah ini. Kita sekarang PKP, gagal; PKPB, gagal; PKPD, gagal; yang akhirnya darurat pun gagal. Akhirnya PM sendiri gagal kekalkan kerajaannya. Walaupun banyak kegagalan, yang menyejukkan hati adalah kerajaan Johor dapat satu MB yang penuh prihatin. Membantu Wakil-Wakil Rakyat, ADUN peruntukan RM150,000.00, sekurang-kurangnya kita berjaya berjumpa dengan rakyat bukan dengan tangan kosong. Saya nak ucapkan ribuan terima kasih.

Dan, beralih kepada satu apa, perkara khas untuk kaum India. Peruntukan khas masyarakat India Johor. Pada baru-baru ini ada satu tawaran daripada peruntukan khas daripada MB Johor iaitu RM4 juta daripada itu akan bagi kepada B40 yang ada kesusahan. Saya nak tahu sahaja satu perkara yang penting. Peruntukan untuk kaum India itu diberi kepada kaum India MIC ataupun untuk keseluruhan? Sebab apa, saya ada memohon daripada pejabat saya Tiram sendiri, 142 permohonan. Sampai sekarang satu orang pun tidak mempunyai pembalasan ataupun penerimaan. Apa yang difahamkan, di seluruh negeri Johor, Ketua-ketua Bahagian MIC, Ketua-Ketua Cawangan mengedarkan dana itu melalui cek. Jadi permohonan daripada persendirian ataupun daripada pihak-pihak lain daripada pihak MIC ada terima ataupun tidak. Saya nak pastikan perkara ini sebab saya nak tahu dana ini untuk kaum India MIC ataupun kaum India keseluruhan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Tiram. Seterusnya saya persilakan, Senai. 10 minit Senai.

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Terima kasih Yang Berhormat Speaker memberi peluang untuk Senai berbahas di Dewan yang mulia ini.

Pertama sekali, Senai ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan kerana telah merasmikan sidang Dewan pada 12 Ogos 2021. Tuan Speaker, dimaklumkan pembukaan sekolah telah dilanjutkan dari September ke Oktober. Nampaknya kerajaan memang belum menyediakan SOP dan garis panduan yang cukup baik untuk membuka semula sekolah pada September. Oleh kerana itu, pembukaan sekolah terpaksa dilanjutkan. Perkara ini memang membimbangkan Senai. Kerajaan haruslah memastikan guru-guru dan murid-murid dalam keadaan yang selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Pada masa yang sama, kita harus mengada SOP tindakan kecemasan. Sekiranya berlaku jangkitan COVID-19 dalam sekolah, agensi kerajaan boleh mengambil tindakan dengan segera. Sebagai contoh, sekira terdapat seseorang atau murid-murid yang dijangkiti COVID-19 adakah sekolah akan terus ditutup atau masih perlu menunggu arahan atasan atau bagaimana?

Tuan Speaker, Senai berasa pihak ibu bapa dan pihak sekolah bersetuju atas pembukaan sekolah dilanjutkan. Tetapi adakah kerajaan telah bersedia sekolah akan dibuka pada Oktober? Adakah terdapat garis panduan yang lengkap disediakan supaya dapat mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa dan pihak sekolah? Nampaknya beberapa kali

telah gagal dalam SOP. Tetapi mengapa kita masih belum belajar dalam kegagalan tersebut. Senai mohon agar kerajaan tidak mengecewakan lagi masyarakat.

Tuan Speaker, pembukaan sekolah bukan sahaja menjejas murid-murid, ibu bapa dan guru-guru. Tapi, termasuk pengusaha kantin dan pemandu bas sekolah turut terjejas dalam pandemik ini. Ada sebahagian murid-murid yang kurang bernasib baik, tidak mempunyai gajet dan liputan internet untuk menjalankan PdPR. Ada yang mempunyai gajet tetapi tiada pemantauan dan bantuan daripada ibu bapa. Pembelajaran murid telah banyak tertinggal. Justeru, kita tiada masa lagi untuk dibaja lagi. Pendidikan harus diutamakan, pihak pendidikan dan kesihatan harus bertanggungjawab dalam menangani perkara ini.

Tuan Speaker, selain ingin memberi tiga cadangan kepada kerajaan negeri Johor, hampir setiap hari Senai menerima panggilan telefon dari guru-guru bahawa mereka masih belum dapat suntikan vaksinasi lengkap. Sehubung dengan itu, Senai mencadang kepada kerajaan Johor agar memastikan guru-guru telah lengkap 2 suntikan vaksin sebelum 3 Oktober bukan sahaja guru-guru, pemandu bas dan pengusaha kantin sekolah juga perlu divaksinasikan dua dos lengkap, sebab mereka merupakan pihak yang kontak rapat dengan anak-anak kita.

Terima kasih atas usaha EXCO Kesihatan, sukacita dimaklumkan di daerah Kulai sejak dua hari lepas telah membenarkan suntikan secara walk in. Jadi, tiada alasan lagi untuk memastikan mereka tidak dapat vaksin lengkap.

Kedua, Senai mencadang agar ujian saringan kendiri kit disalur kepada guru-guru supaya mereka dapat membuat ujian harian sendiri. Seperti sedia maklum, lebih banyak ujian kita buat, lebih cepat kita memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Ambil contoh, Ahli-Ahli Yang Berhormat perlu membuat saringan test harian, kenapa guru-guru tidak?

Ketiga, Senai mencadang agar kerajaan negeri Johor dapat menyalurkan pelitup muka dan gel sanitasi kepada setiap murid secara percuma dalam tempoh seminggu sekali. Ini bukan sahaja dapat membantu mereka mengekalkan norma baharu, ia juga dapat membantu keluarga yang kurang kemampuan. Senai tidak ingin mereka dijangkiti hanya kerana mereka tidak mampu membeli pelitup muka dan gel sanitasi. Senai dapati kos ini membebankan keluarga yang kurang bernasib baik. Senai berharap kerajaan negeri Johor mempertimbangkan ketiga-tiga cadangan ini.

Tuan Speaker, Senai juga ingin ambil kesempatan ini ucap ribuan terima kasih kepada para barisan hadapan. Mereka bertungkus lumus memerangi COVID-19 tidak mengira siang dan malam. Pengorbanan mereka bukan sahaja melibatkan fizikal, badan letih dan sebagainya tetapi melibatkan kesihatan mental. Setiap hari mereka dikhabarkan dengan berita peningkatan jangkitan dan kematian akibat COVID-19. Senai sendiri tidak dapat membayangkan emosi mereka yang hadapi setiap hari. Senai harap kerajaan negeri Johor dapat mempertimbangkan banyak lagi insentif kepada barisan para hadapan sebagai penghargaan.

Dalam pandemik ini, ramai di luar sana menghadapi tekanan sebagai contoh, mereka kehilangan punca pendapatan. Mereka mendapat tekanan daripada pendidikan anak-anak mereka. Ada yang dijangkit COVID, ada yang hilang ahli-ahli keluarga mereka. Senai amat kecewa, akibat tekanan ini mereka membuat keputusan akhir dengan cara yang amat menyedihkan, menakutkan kita iaitu membunuh diri. Dalam pandemik ini, kita bukan sahaja ingin memerangi virus COVID-19, tetapi kesihatan masyarakat juga perlu diperhatikan. Senai berharap pihak kerajaan membenarkan bilik kaunseling NGO, Pusat Kaunseling dibenarkan operasi semula dengan segera supaya mereka dapat membantu golongan yang terkesan ini.

Akhirnya, Senai mendapati statistik kes positif di kawasan Mukim Senai dari Januari 2021 hingga Ogos 2021, didapati kes jumlah positif sebanyak 6,451. Warga tempatan seramai

2,004 tetapi warga asing seramai 4,447 orang. Nampaknya majoriti pesakit COVID-19 ini adalah warga asing. Senai juga difahamkan di kawasan Senai mempunyai melebihi 40,000 orang pekerja asing yang berdaftar tidak termasuk PATI, pekerja asing tanpa izin. Senai menyeru kerajaan untuk memastikan golongan pekerja asing telah mendapat suntikan vaksin lengkap dan menjalankan ujian sendiri harian. Selain itu, penguat kuasa harus memastikan tempat tinggal pekerja warga asing mematuhi syarat-syarat tidak melebihi kapasiti. Jika kita dapat mengawal golongan ini, kita tidak jauh lagi untuk memerangi peperangan pandemik ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih kepada Senai. Seterusnya saya persilakan Tangkak, jemput.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Tangkak untuk menyertai dalam perbahasan rundingan menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Pertama sekali, Tangkak ingin merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor atas keberangkatan ke Dewan yang mulia ini untuk merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Tangkak telah menjalankan kuarantin sejak 17 Ogos sehingga 1 September kerana telah ada kontak rapat dengan seorang pesakit positif COVID-19. Sepanjang 14 hari ini, saya rasa rakan-rakan Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini pernah juga iaitu telah kuarantin, telah di swab dalam zaman pandemik COVID-19 ini. Setiap hari di negeri Johor sahaja, statistik sehingga hari ini iaitu dari 1 September sehingga 5 September sejumlah 10,706 orang telah dijangkiti COVID-19. Bayangkan kalau setiap kes positif pesakit positif COVID-19 ini mengadakan kontak rapat dengan ahli keluarga dia, dengan rakan sekerja dia, 3 orang. Jadi, setiap hari sekurang-kurang kontak rapat sudah ada 6,000 orang. Jadi, kita boleh bayangkan, beban kerja barisan hadapan terutama KKM, doktor-doktor dan juga jururawat-jururawat kita sejak 18 bulan yang lalu mereka berada di barisan paling hadapan memerangi COVID-19 ini. Tapi malangnya, sehingga hari ini beban kerja mereka tidak menurun tetapi telah meningkat. Jadi, kami, kita sebagai rakyat Johor, apakah tanggungjawab kita tak kira sebagai Wakil Rakyat, pemimpin ataupun rakyat biasa? Tanggungjawab kita adalah untuk mematuhi SOP atau menggunakan cara memikirkan apa yang kita boleh lakukan supaya pandemik COVID-19 ini dapat dikawalkan.

Oleh itu, Tangkak ingin mencadangkan bahawa tenaga manusia barisan hadapan ada keperluannya untuk di structure semula. Tangkak bagi contoh, PDRM, pihak Polis menjalankan sekatan jalan raya setiap hari di sempadan daerah-daerah di seluruh negeri Johor. Ya, memang ada bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia dan juga Jabatan Sukarelawan Malaysia, RELA tetapi pihak Polis juga perlu jaga atau perlu menjalankan tugasan harian mereka termasuk ronda, termasuk mencegah jenayah, kes-kes jenayah. Dan Tangkak ingin mencadangkan bahawa kerja-kerja sekatan jalan raya ini sebenarnya boleh dibantu oleh lebih ramai anggota-anggota RELA dan juga anggota-anggota ATM, Angkatan Tentera Malaysia. Dan pihak Polis atau anggota Polis boleh menjalankan tugas harian mereka dan juga untuk mengawal atau memantau mereka yang sedang di kuarantin di rumah. Kerana ramai orang yang ada kontak rapat dengan kes positif COVID-19 ini terpaksa menjalankan kuarantin di rumah walaupun mereka pakai gelang tangan tetapi banyak berlaku kes yang orang yang pakai gelang itu dia keluar dari rumah, mungkin atas sebab dia nak beli barang tak ada orang boleh bantu. Tetapi ramai, ada yang juga keluar untuk berjalan-jalan, dia kata dia nak keluar exercise Tuan Speaker. Jadi, Tangkak harap kita perlu fikir kalau mereka yang sedang di kuarantin 14 hari ini walaupun sekarang dia mungkin negatif tetapi dia berisiko. Dalam 14 hari ini mungkin dia akan jadi positif dan jika mereka telah melanggar HSO, Home Surviliance Order dan keluar dan mereka telah ada kontak rapat juga dengan orang awam atau dengan jiran. Risiko jangkitan komuniti itu akan lebih tinggi dan barisan hadapan kita akan tambah lagi beban kerja. Jadi, saya rasa jabatan-jabatan berkaitan boleh memikir atau menimbang cadangan-cadangan ini supaya

lebih ramai anggota-anggota RELA ataupun sukarelawan dari NGO setempat dapat membantu menjalankan kerja-kerja SOP ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi isu ketidakcukupan ataupun berlaku kepenuhan di Pusat Kuarantin (PKRC) ini, Tangkak ingin memberi cadangan juga sebagai contoh, pesakit positif kes COVID-19 dari kawasan Johor Utara kalau mereka berada di Tahap 1, Tahap 2 biasanya kalau dia ada kekosongan di PKRC, mereka akan dihantar ke Pasir Gudang. Iaitu dari Johor Utara dihantar ke Johor Selatan tapi sebenarnya di setiap kawasan DUN di negeri Johor dalam 56 kawasan DUN Johor terdapat sekurang-kurangnya Dewan Muafakat, dewan serba guna dan pelbagai dewan-dewan. Tangkak cadangkan supaya dewan-dewan serba guna, dewan-dewan awam ataupun dewan-dewan PBT di setiap kawasan dapat digunakan sebagai Pusat Kuarantin, supaya kita dapat mengurangkan mereka yang terpaksa kuarantin di rumah kerana tiada tempat di PKRC berpusat. Dan ini juga mengakibatkan telah banyak berlaku kes positif COVID-19 kerana tiada tempat untuk ditempatkan di PKRC, mereka terpaksa kuarantin di rumah dan akhirnya selepas 14 hari, ramai ahli keluarganya dari negatif jadi positif.

Satu lagi Yang Berhormat Tuan Speaker,Tangkak ingin mencadangkan bahawa SOP yang dikenakan ataupun arahan tutup, berhenti beroperasi yang dikeluarkan oleh KKM terhadap kilang-kilang atau kedai-kedai yang terdapat kes positif dapat diperketatkan. Saya bagi contoh, ada kilang-kilang besar yang telah muncul test positive ataupun telah menjadi kluster. Mereka cuma di tutup mungkin 4 hari, 5 hari, dan telah mengakibatkan ramai pekerja-pekerja dijangkiti COVID-19.

Speaker

1 minit lagi Yang Berhormat. 1 minit lagi.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ok. Jadi, ada juga pasar raya-pasar raya yang ada kes COVID cuma di tutup 2 hari dan dibuka balik. Pelanggan-pelanggan atau orang awam terpaksa menghadapi risiko yang tinggi kalau virus yang kita nampak tu masih ada di premis-premis perniagaan tersebut. Jadi, Tangkak mencadangkan supaya arahan tutup ini diselaraskan dan diperketatkan, supaya jangkitan di komuniti dapat dikawal.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Tangkak ingin membawa isu tempatan di kawasan Tangkak iaitu berlaku banjir kilat di beberapa kampung di kawasan Tangkak termasuk Kampung Solok, Kampung Bukit Banjar dan juga kawasan sebelah saya, Kampung Sri Jaya. Jadi, Tangkak berharap JPS Tangkak boleh dapat lebih ataupun tambahan peruntukan bagi tahun 2022 supaya kerja-kerja pembersihan parit-parit di kampung itu dapat dilaksanakan dengan lebih kerap.

Dan satu lagi, Tangkak ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah meluluskan peruntukan tambahan kepada semua ADUN. Terima kasih juga dipanjangkan kepada Yang Berhormat Tenang, kerana telah meluluskan projek memasang lampu isyarat untuk jalan Paya Mas dan Jalan Bekok dan juga kepada Yang Berhormat Rengit kerana telah, apa tu telah menyediakan kertas kerja bagi isu yang telah dibangkit oleh Tangkak pada persidangan yang lalu untuk isu-isu rumah pangsa Jalan Ong Siong, Tangkak.

Sekali lagi Tangkak ingin mengucapkan terima kasih kepada semua barisan paling hadapan di negeri Johor dan Malaysia. Terima kasih semua dan semoga rakan-rakan yang ada di Dewan yang mulia ini, semua boleh berjaya melawankan COVID-19 dan semua berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Ya, terima kasih Tangkak. Seterusnya saya persilakan Kota Iskandar. Jemput.

Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKota Iskandar

Bismillahirahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, pertamanya

patik merafak sembah menjujung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas keberangkatan Duli Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di Pertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita bersidang pada hari ini dalam keadaan perang pandemik COVID-19, masih belum menyebelahi kita. Pandemik COVID-19 bukan sahaja menatijahkan krisis kesihatan dan krisis ekonomi tetapi juga menatijahkan peningkatan dalam kes bunuh diri, penceraian dan juga isu kesihatan mental.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Kota Iskandar menyokong titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sekarang bukan masa untuk berbalah tetapi masa untuk bersatu dan bekerjasama khususnya dalam menguruskan pandemik COVID-19 dan juga membangunkan semula ekonomi negeri Johor. Kota Iskandar juga menyambut baik ucapan sulung Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 yang menyeru agar kestabilan politik diwujudkan melalui konsep kebersamaan dan kerjasama rentas parti. Seruan ini, sebenarnya selari dengan maqasid syariah untuk kita menjaga nyawa (hifz an-nafs) yang merupakan satu daripada 5 rukun kehidupan manusia selain daripada agama, akal, keturunan dan juga harta. Firman Allah SWT (bacaan ayat Al quran), dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan takwa dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan, Al Maidah ayat ke-2.

Yang Berhormat Tuan Speaker, inilah konsep ta’awun bekerjasama dalam islam, pakatan dan menyahut tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan demi untuk kebaikan dan kemasalahan rakyat Johor. Kota Iskandar ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan hadapan frontliners yang menjadi benteng utama kepada negara memerangi pandemik COVID-19. Tahniah juga diucapkan kepada daerah Muar yang merupakan daerah pertama yang telah mencapai imuniti kelompok di negeri Johor.

Kota Iskandar juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana bersikap budiman dengan menambahkan peruntukan RM150,000.00 kepada setiap Ahli Dewan Negeri Johor. Terima kasih daun keladi, kalau ada peruntukan lain kali boleh tambah lagi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sektor pembuatan ataupun industri adalah merupakan penyumbang kedua kepada KDNK negeri Johor pada tahun 2020. Sektor ini menyumbang 30.2% kepada KDNK Negeri Johor. Kesan bila banyak industri dibenarkan beroperasi oleh MITI dalam PKP 3.0 bermula 1 Jun yang lalu telah menjadikan, menyebabkan ianya menjadi sarang penularan COVID-19 kerana tidak mematuhi SOP dan juga kadar vaksinasi warga industri yang masih lagi rendah.

Semalam sahaja ada 4 kluster industri iaitu daripada Masjid Muar, Jalan Pekeliling Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tebrau 2 dan juga Taman Wawasan Kulai. Justeru itu, Kota Iskandar mencadangkan supaya vaksinasi warga industri yang dijalankan di bawah Johor Vacsine Imunisation Program (JVIP) perlu menyasarkan imuniti kelompok pada bulan ini selari dengan program PIKAS yang dilaksanakan di peringkat pusat. Ini bagi membolehkan sektor industri terus beroperasi dengan selamat di samping menjana hasil kepada ekonomi negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selaras dengan konsep ta’awun yang Kota Iskandar sebutkan tadi, bekerjasama demi kepentingan dan kebaikan rakyat. Kota Iskandar mencadangkan menyokong saranan Parit Yaani dan juga rakan-rakan YB yang lain supaya ADUN-ADUN dilibatkan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah ataupun JKPD ini penting sebagai ADUN yang dipilih oleh rakyat seharusnya mereka bertanggungjawab terhadap sebarang pembangunan di kawasan mereka dan bukannya penyelaras DUN yang tidak dipilih oleh rakyat. Kita buka relative baru Yang Amat

Berhormat Menteri Besar Johor. Kota Iskandar juga mencadangkan supaya ditubuhkan Majlis Pemulihan Negeri Johor yang fokus utama untuk aspek pengurusan pandemik COVID-19, dan juga pembangunan semula ekonomi negeri Johor. Majlis ini perlulah melibatkan wakil-wakil daripada Pakatan Harapan, NGO, pemain industri dan juga pakar-pakar dalam bidang pelbagai bidang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, baru-baru ini media hangat memperkatakan tentang golongan yang menolak untuk di vaksin. Mereka di cop sebagai anti-vaksin, golongan songsang, bahkan mereka diancam untuk diambil tindakan termasuk oleh pihak majikan mereka. Secara dasarnya golongan ini sebenarnya tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang kerana undang-undang belum mewajibkan mengambil vaksin, bahkan fatwa agama pun meletakannya sebagai harus. Mereka hanya mengambil hak, mengamalkan hak asasi pesakit dalam memilih bentuk rawatan yang dijalankan sebagaimana yang dinyatakan dalam arahan awal perubatan ataupun advance medical directive. Kita perlu berlaku adil kerana sekarang ini mereka di diskriminasi dalam pelbagai bentuk seperti tidak boleh ke masjid, tidak boleh dine-in dan sebagainya, dan sebenarnya diskriminasi ini Yang Berhormat Tuan Speaker, hanyalah mendedahkan kerajaan atau majikan kepada tindakan undang-undang. Kerajaan perlu terus mengadakan engagement dengan izin, dengan golongan ini kerana sebahagian mereka menolak vaksin sebab keraguan keberkesanan vaksin dan takutkan kesan negatif yang disebut Adverse Event Following Immunization ataupun AEFI. Apakah adil untuk menyatakan 250 guru dan 30,000 penjawat awam yang belum mengambil vaksin sebagai golongan anti vaksin?

Yang Berhormat Tuan Speaker, pepatah Arab ada menyatakan manusia kebiasaan akan memusuhi apa yang mereka tidak ketahui. Engagement akan memberikan pencerahan kepada golongan ini tentang vaksin. KKM juga telah bersetuju berkongsi data AEFI bermula minggu ini bagi memberikan gambaran sebenar kesan suntikan vaksin kepada rakyat yang telah mengambilnya. Adakah ini boleh membina keyakinan golongan ini terhadap vaksinasi?

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Menteri Kesihatan baru-baru ini ada menyatakan bahawa Malaysia perlu bersedia untuk masuk kepada fasa endemik yang dikatakan akan bermula Oktober ini. Di mana rakyat perlu hidup bersama COVID-19, persoalannya apakah kebijaksanaan kenyataan ini? Bukankah kenyataan ini sangat mengelirukan rakyat, banyak lagi negeri yang masih terkial-kial dalam fasa 1 hingga fasa 3 dalam Pelan Pemulihan Negara. Endemik hanya akan wujud bila mana kes COVID-19 yang ada pada kadar yang stabil dan juga rendah. Kes COVID-19 Johor sekarang ini melebihi 2,000 sehari, purata kematian 40 orang sehari, 100% katil bukan ICU digunakan, 94% katil ICU digunakan. Adakah dalam keadaan begini sesuai untuk diisytiharkan fasa endemik yang akan berlaku kurang daripada 2 bulan?. Bagaimana pula vaksin golongan pelajar 12 hingga 18 tahun? Berita Utama TV3 malam tadi menyatakan Sarawak akan menjadi negeri yang pertama untuk vaksin 12 hingga 18 tahun pelajar bermula Rabu ini insya-Allah. Negeri lain termasuk Singapura yang telah pun vaksinasi rakyatnya 83% pada 2 September yang lalu, sekarang ini mula masuk fasa suntikan tambahan ataupun booster secara berperingkat ekoran wujudnya varian yang mudah berjangkit seperti Delta. Sasaran utama adalah bagi mereka yang mendapat vaksin pada Mac yang lalu. Kenyataan yang populis ini dibuat bermotifkan politik dan bukannya berasaskan kepada sains dan juga data. Kita faham setiap Yang Berhormat Menteri yang dilantik perlu mengemukakan report card kepada Perdana Menteri selepas daripada 100 hari mereka dilantik.

Yang Berhormat Tuan Speaker, semasa PKP perniagaan dibenarkan operasi adalah kategori essential dan juga bukan essential dengan izin, mengakibatkan banyak PKS dan peniaga kecil yang terpaksa tutup perniagaan berbulan-bulan bahkan ada yang terpaksa di tutup terus. Kota Iskandar ingin mencadangkan supaya syarat ini dimansuhkan dan satu benchmark penanda aras yang lebih adil perlu diguna pakai iaitu sama ada sesuatu perniagaan tersebut boleh mematuhi SOP COVID-19 ataupun tidak.

Speaker

1 minit lagi Yang Berhormat.

Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHKota Iskandar

Ada kemungkinan sektor bukan keperluan dapat memenuhi dengan mudah SOP COVID-19, sebab mereka mempunyai bilangan pekerja yang kecil. Kilang yang besar dan dikategorikan sebagai sektor keperluan, essential tetapi tidak mampu memenuhi SOP bahkan menjadi sarang penularan COVID sebagaimana yang berlaku sekarang ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Kota Iskandar juga mencadangkan supaya semua sektor ekonomi dibuka bila negeri Johor telah mencapai imuniti kelompok tanpa ada sebarang kompromi pematuhan kepada SOP COVID-19. Ini penting bagi survival kelangsungan sesebuah syarikat tersebut kerana saya yakin dan percaya tidak ada syarikat yang mempunyai kekuatan kewangan untuk bertahan lebih daripada 5 bulan selepas daripada PKP 3.0 dilaksanakan.

Akhirnya Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri dan persekutuan perlu terus berusaha untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Singapura supaya pintu sempadan dengan Singapura dibuka dalam masa yang terdekat. Oleh itu, tanggungjawab kita proses vaksinasi perlu diberi keutamaan dan insya-Allah pasport vaksin yang sebelum ini disyorkan kepada kerajaan Singapura seharusnya menjadi salah satu asas kepada perundingan dengan kerajaan Singapura. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Terima kasih Kota Iskandar. Seterusnya saya persilakan Maharani, jemput.

Bismillahirrahmannirahim. (Berselawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam harapan, salam hari kebangsaan yang ke-64. Maharani mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor. Maharani merafak sembah, menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Maharani ingin memulakan perbahasan ini dengan merenung firman Allah SWT kepada Nabi Daud as dalam menginsafi peranan setiap daripada kita sebagai pemimpin. (Bacaan potongan ayat Al-Quran). Firman Allah yang bermaksud, ‘Wahai Daud, sesungguhnya engkau kami jadikan khalifah pemerintah di bumi. Maka berikanlah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan’. Surah As-Sad, ayat yang ke-26. Kita berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan kita, menunaikan amanah kepada rakyat Johor ini berdasarkan pertimbangan kebenaran dan keadilan sosial serta dipelihara kita daripada menurut hawa nafsu dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Sempena bulan kemerdekaan dan hari kebangsaan yang ke-64, saya menyeru diri saya dan semua rakan-rakan Yang Berhormat untuk melaksanakan amalan dan semarakkan politik nilai, politik mendidik dan politik khidmat dan mengelakkan politik wang, politik ugutan dan sebagainya.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Fitch Solution pada 16 Ogos 2021 telah membuat semakan semula unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar Malaysia kepada 0% bagi 2021 berbanding 4.9% sebelum ini, berikutan impak gelombang ketiga jangkitan COVID-19 yang lebih teruk daripada jangkaan. Kes jangkitan harian tidak menunjukkan penurunan ketara meskipun lockdown dilaksanakan di seluruh negara dan kes jangkitan terus mencatatkan rekod baharu sepanjang Ogos. Semakan semula unjuran ini adalah petanda bahawa kelembapan ekonomi akibat pandemik ini terus kita depani buat tempoh, buat satu tempoh

yang lama dan terbukti kesan-kesan ekonomi inilah yang telah mencetus dampak negatif ke atas kesejahteraan sosial rakyat sepertimana yang kita lihat sekarang setelah lebih setahun berlalu. Justeru, Maharani menyeru kerajaan memfokuskan kepada empat aspek utama dalam memastikan pemulihan pasca pandemik di negeri Johor lebih berkesan dan tersasar, iaitu, pertama, pengupayaan wanita, keluarga dan masyarakat. Kedua, kebajikan frontliners semua sektor. Ketiga, pendidikan dan yang keempat, penambahbaikan respons kesihatan awam.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pengupayaan wanita, keluarga dan masyarakat pasca pandemik. Sedia laporan dikeluarkan pelbagai agensi termasuk United Nations Population Fund (UNFPA) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan golongan wanita lebih terbeban dengan kesan negatif akibat pandemik ini. Realitinya, lebih 70% petugas barisan hadapan yang kini bertungkus lumus merawat pesakit COVID-19 juga adalah terdiri daripada wanita. Majoriti wanita termasuk suri rumah dibebani tekanan berganda sepanjang tempoh PKP akibat pelbagai bebanan tugasan dan penyesuaian yang harus dilakukan dalam kehidupan berkeluarga. Ini termasuklah menjaga keluarga, suami, anak-anak dan ibu bapa yang uzur, membantu PdPR anak-anak di rumah, menguruskan keperluan seharian di samping perlu menyelesaikan tugasan pejabat bagi yang bekerja dari rumah. Ada juga yang hilang mata pencarian kerana bekerja secara harian.

Ini saya dapati amat kerap berlaku khususnya ketika menyantuni rakyat kawasan Maharani bagi mengagihkan bantuan bakul makanan. Isi rumah yang diketuai oleh wanita pula lebih teruk terkesan kerana mereka pada masa yang sama menanggung sebahagian besar beban tanggungjawab mencari nafkah serta menjaga keluarga. Dalam aspek pengupayaan wanita dan masyarakat, penggubalan dasar negeri dan wacana umum pasca pandemik ini mesti mengambil kira isu keperluan serta kesan pandemik COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak setiap daerah, terutamanya dalam keluarga berpendapatan rendah.

Maharani mencadangkan yang pertama, wanita dilibat urus dalam setiap perancangan pelaksanaan tindakan menangani wabak dan pemulihan sosio ekonomi negeri. Kedua, di saat fokus dan sumber negeri terarah kepada ekonomi dan kesihatan awam dan pencegahan wabak, aspek pengupayaan wanita menjadi semakin kritikal. Tidak cukup dengan bantuan tunai One-Off, bakul makanan serta keperluan asas, tetapi program pemerkasaan dan pengupayaan wanita harus terus diberikan perhatian khususnya melengkapkan golongan wanita menempuh cabaran pandemik dan mempelajari kemahiran baharu. Yang ketiga, bagi membantu para ibu yang harus kembali bekerja di tempat kerja dan sesi persekolahan yang bakal bermula, kerajaan negeri harus bertindak meringankan bilangan kemudahan dan akses pusat asuhan kanak-kanak. Yang keempat, bantuan tunai sara hidup bulanan dan psiko sosial kepada isi rumah yang diketuai ibu tunggal wanita, ibu tunggal dan ibu tinggal dan warga emas tinggal sendiri sekurang-kurangnya sehingga imuniti kelompok dicapai di seluruh negeri.

Yang kelima, aspek perlindungan wanita juga harus terus dipastikan lebih-lebih lagi Maharani mengambil maklum statistik keganasan rumah tangga dilaporkan di Johor sehingga kini 2021 melebihi 50 kes. Kerajaan negeri dicadangkan memohon peruntukan kerajaan persekutuan dalam Belanjawan 2021 untuk penubuhan pusat perlindungan sosial setempat atau sekurang-kurangnya diwujudkan di setiap daerah di negeri Johor bagi melindungi wanita dan kanak-kanak mangsa keganasan. Yang keenam, peruntukan dana khas diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan wanita dan badan-badan komuniti dalam negeri Johor sebagai barisan hadapan mencegah keganasan dalam komuniti untuk memberi bantuan segera kepada wanita, kanak-kanak dan warga emas mangsa penderaan dan keganasan. Yang ketujuh, kerajaan negeri harus mewujudkan skim perlindungan dan penjagaan khusus bagi perlindungan kanak-kanak yang kematian ibu bapa dan penjaga akibat COVID-19.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Maharani ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan atas usaha dan pengorbanan mereka dalam

memerangi pandemik COVID-19 ini. Kita menyedari bahawa ucapan terima kasih sahaja tidak memadai berbanding pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para frontliners. Setelah lebih setahun para frontliners sama ada petugas kesihatan termasuk doktor kontrak, polis dan tentera serta pasukan beruniform lain, pekerja pembersihan, sukarelawan di pusat kuarantin dan PPV tetap gigih berkhidmat demi keselamatan kita semua. Sokongan kepada barisan hadapan ini sewajarnya melangkaui ucapan terima kasih, lukisan mural dan penghargaan tetapi sokongan kewangan dengan penggandaan elaun dan insentif bagi memastikan mereka terus kekal fokus di samping sokongan psiko sosial menangani tekanan mental dan keletihan melampau.

Speaker

Satu minit lagi Yang Berhormat.

Cadangan daripada Maharani, memberi elaun khas sebagai tambahan kepada elaun yang diberikan kerajaan persekutuan kepada semua petugas barisan hadapan di negeri Johor termasuk doktor kontrak dan pekerja pembersihan serta proses permohonan elaun dimudahcara.

Yang Berhormat Tuan Speaker, menjelang suku terakhir tahun 2021 ini fokus kerajaan seharusnya tentang pemulihan dan pembinaan semula pasca pandemik, menekankan semula pembinaan masyarakat yang lebih holistik bukan semata-mata kemakmuran ekonomi. Pembinaan semula dan pemulihan ini hanya dapat direalisasikan dengan lebih berkesan berdasarkan kerjasama rentas parti yang selari dengan aspirasi rakyat dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Ucapan dan doa jazakallah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah menambah peruntukan tambahan kepada semua ADUN dan penyelaras DUN pada tahun ini, semoga kita terus melaksanakan politik khidmat yang akan memberikan manfaat kepada rakyat yang khususnya yang terkesan dengan COVID-19. Sekian wabillahi taufik walhidayah wasaalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Terima kasih Maharani. Seterusnya, saya jemput Penggaram, jemput.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram mengucapkan terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk berbahas di dalam Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram sedih apabila terdapat ibu-ibu mengandung yang meninggal dunia akibat COVID. Lebih menyayatkan hati apabila anak yang baru dilahirkan kehilangan sentuhan seorang ibu yang sedang berjuang melawan COVID. Apa berlaku dari Mac 2020 sehingga 9 Ogos 2021, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil direkodkan. Lebih membimbangkan 63 kes tersebut direkodkan dalam tempoh dua bulan terakhir ini setakat 8 hari bulan Ogos. Penggaram ingin mengetahui di negeri Johor sehingga kini, berapakah jumlah rekod ibu hamil dan berapakah jumlah ibu hamil sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin?

Sehubungan dengan itu, Penggaram mencadangkan kepada kerajaan agar para ibu hamil dan menyusu diberikan kemudahan untuk mendapatkan vaksin di klinik kesihatan atau klinik desa ketika menjalani pemeriksaan bulanan untuk ibu mengandung dan bayi. Selain mampu melancarkan penerimaan vaksin, mereka akan lebih yakin apabila mereka mendapat khidmat nasihat daripada authority yang mempunyai personal touch dengan mereka iaitu jururawat-jururawat di klinik ibu dan bayi. Selain itu, cadangan ini juga sekali gus meringankan bebanan para ibu mengandung dan menyusu yang terpaksa menunggu giliran di pusat pemberian vaksin.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram maklum apabila kerajaan mula melaksanakan pemberian vaksin kepada masyarakat secara walk-in, dengan izin. Saya anggap ini adalah satu langkah yang bagus sebab program vaksinasi secara walk-in ini untuk menggalakkan bangsa Johor yang tercicir atau masih belum menerima temu janji. Dukacitanya,

Penggaram mendapati program vaksinasi walk-in ini yang sepatut menjadi galakan serta memberi manfaat kepada warga negara khususnya bangsa Johor telah diambil kesempatan oleh para majikan untuk menghantar pekerja-pekerja asing secara beramai-ramai.

Di sini, Penggaram ingin bertanya pendirian kerajaan Johor terhadap keperluan program PICAS yang telah dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan bagi kemudahan pekerja-pekerja swasta termasuklah pekerja asing dan apakah langkah kerajaan negeri Johor untuk membantu majikan yang belum dapat balasan daripada permohonan mereka?. Saya tidak menafikan bahawa pekerja asing berhak dan perlu divaksin, tetapi ianya perlu dilaksanakan secara lebih teratur, sistematik dan adil bagi semua pihak terutama Bangsa Johor. Lambakan pekerja asing yang dihantar oleh majikan ke PPV bagi mendapatkan vaksin secara walk-in secara tidak langsung telah mengetepikan peluang masyarakat setempat dan menakutkan masyarakat setempat untuk keluar secara walk-in dan ini telah menggagalkan matlamat walk-in. Fenomena pekerja asing mendapatkan vaksin bukanlah baru dan ia telah berlaku di PPV Yong Peng dan UTHM pada hujung Julai dan juga awal Ogos.

Penggaram ingin bertanya dan menggesa kerajaan menyiasat adakah terdapat campur tangan dari mana-mana pihak di dalam mengatur pemberian vaksin kepada pekerja asing sehingga mendahului warganegara. Semalam, 5 September sekurang-kurangnya 6 buah bas telah membawa pekerja asing bagi mendapatkan vaksin secara walk-in di Dewan Terbuka Taman Hajar, Batu Pahat. Penggaram amat berdukacita kerana kita sedia maklum masih ramai lagi warganegara yang menantikan temu janji bagi mendapatkan vaksin terpaksa bersaing dengan warga asing di program vaksinasi secara walk-in. Tambahan lagi pekerja-pekerja asing tersebut telah mendapat vaksin secara percuma, sedangkan jika melalui PIKAS, bayaran akan dikenakan sebanyak RM90.00 untuk seorang. Lebih mengecewakan lagi terdapat warganegara kita yang terpaksa membayar vaksin kerana terlalu lama menunggu temu janji. Penggaram berharap kerajaan dapat memantau perkara ini sewajarnya, agar tiada pihak yang memanipulasi pemberian vaksin secara walk-in sama ada mendapat sebarang habuan bagi mengatur pemberian vaksin kepada pekerja asing.

Pada masa yang sama, kerajaan harus memikirkan tentang pemberian vaksin kepada bangsa Johor yang berusia 18 tahun ke bawah. Rekod pada 4 September, mendapati sebanyak 249 kes COVID dilaporkan di daerah Batu Pahat dan 72 kes daripada adalah warganegara di bawah umur 18 tahun iaitu hampir 29%. Kita sedia maklum KPM akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Oktober. Melihat dari situasi pandemik ini, Penggaram menyampaikan kebimbangan para ibu bapa yang masih risau untuk membenarkan anak-anak mereka ke sekolah sekiranya anak-anak mereka belum di vaksin. Kerajaan harus memikirkan nasib anak-anak bangsa Johor yang berumur 18 tahun ke bawah kerana mereka akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi. Apakah langkah kerajaan untuk menjamin keselamatan anak-anak kita yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram sentiasa menerima keluhan dan rintihan daripada bangsa Johor yang meluahkan rasa terkesan dengan pandemik COVID. Penggaram maklum pandemik juga telah menjejaskan ekonomi dan taraf kehidupan bangsa Johor khasnya B40 dan M40. Banyak bebanan kewangan terpaksa mereka tanggung. Apakah rancangan kerajaan untuk membantu golongan tersebut dalam memulihkan perniagaan mereka dan Penggaram mencadangkan agar dalam Bajet 2022 kerajaan dapat mengurangkan cukai pintu sebagai langkah mengurangkan bebanan rakyat.

Penggaram sekali lagi ingin menyentuh isu permit khas ternakan ayam di dalam Dewan yang mulia ini. Penggaram ingin mengetahui adakah kerajaan mempertimbangkan semula perlaksanaan perkara ini dari pelbagai sudut termasuk mendengar pendapat dan pandangan para pengusaha ladang terbuka di dalam melaksanakan permit khas ternakan ayam? Pembinaan sesebuah reban ayam sistem tertutup menelan kos jutaan ringgit. Perkara ini membebankan penternak ayam kecil dan sederhana apatah lagi tiada jaminan pelaburan yang jelas oleh kerajaan kepada mereka. Isu penggunaan sumber kuasa kos

yang tinggi, perkakas yang mahal, penyelenggaraan yang rumit dan sebagainya akan membunuh penternak kecil dan sederhana lantas menyebelahi syarikat-syarikat besar untuk memonopoli pasaran. Hal ini akan memberi kesan terhadap harga pasaran ayam daging dan telur. Penggaram berharap kerajaan mempertimbangkan semula perlaksanaan permit khas ternakan ayam ke atas pengusaha dan penternak agar ia tidak mencekik mereka khususnya ketika musim pandemik ini.

Speaker

1 minit lagi Yang Berhormat.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Ha, tak boleh nafas (ketawa). Yang Berhormat..

Speaker

Minum dulu Yang Berhormat, minum dulu.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Tuan Speaker, di Dewan yang mulia ini Penggaram ingin membawa sedikit isu-isu tempatan yang berbangkit khususnya di kawasan Penggaram iaitu berkaitan isu bangunan Pusat Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti Penggaram yang didapati tidak selamat berikut struktur bangunan yang sedang dimakan anai-anai. Penggaram memohon jasa baik kerajaan untuk memandang serius isu ini di mana kita tahu PDK menempatkan sebilangan pelatih Orang Kelainan Upaya. Ketiga, eh sorry, mengenai Projek Jalan kampung Rahmat, Penggaram ingin kepastian bilakah projek ini dijangka siap sepenuhnya? Begitu juga apakah status rancangan negeri terhadap memperbaiki kaedah persimpangan tiga di Jalan Tanjung Labuh, Jalan Kampung Rahmat setelah ia bermula berfungsi?

Penggaram berharap kerajaan memperuntukkan kepada JPS dan JKR bagi mereka menjalankan kerja penyelenggaraan parit dan saliran secara besar-besaran. Ini bagi mengelakkan Batu Pahat dilanda banjir ialah hingga memaksakan pembukaan Pusat Pemindahan Mangsa Banjir dalam ketika pandemik COVID. Yang akhir, Penggaram ingin mengetahui apa masalah utama bagi PKRC Tanjung Labuh sehingga sekarang tidak dapat diguna pakai. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Penggaram. Seterusnya saya persilakan Paloh. Jemput, Paloh.

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahiwalhamdulillah. Pertama sekali Paloh ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan juga menjunjung kasih ke bawah Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah, bersempena perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 ini.

Dalam masa yang cukup ringkas ataupun singkat ini, Paloh ingin mengangkat beberapa perkara secara ringkas sahaja. Pertamanya, berkaitan dengan prestasi vaksinasi COVID-19 di negeri Johor ini. Paloh ingin merakamkan ucapan tahniah atas usaha keras yang dijalankan oleh kerajaan, frontliners dan juga semua pihak yang terlibat kerana suka atau tidak suka, dalam tempoh satu ke dua hari ini, Johor telah pun keluar daripada ranking tiga terbawah jumlah kumulatif vaksinasi dan Alhamdulillah dos pertama sudah pun melebihi capaian 80%, dos kedua sudah pun melebihi capaian 50%. Tahniah diucapkan.

Yang kedua Tuan Speaker, Paloh ingin menyatakan dalam ketika kita berbahas di Dewan yang mulia ini, sebenarnya ada banyak lagi angka-angka yang membimbangkan kita. Antaranya ialah berdasarkan laporan sosioekonomi 2020, Jabatan Statistik Negara yang telah pun diterbitkan menyatakan bahawa kadar pengangguran di negeri Johor ini telah meningkat kepada 3.5% pada tahun 2020. Ini 2020 ya, tak masuk 2021 lagi. Iaitu meningkat 0.8% berbanding kadar pengangguran pada tahun 2019 iaitu sekadar 2.7% sahaja. Ini di negeri Johor penganggurannya. Kalau kita lihat daripada pecahan siswazah di negeri Johor pula, yang terkesan teruk apabila kadar pengangguran dalam kumpulan ini meningkat kepada 4.0% pada tahun 2020, berbanding 3.5% pada tahun 2019. Ini siswazah

di negeri Johor yang terjebak dalam kancah pengangguran. Ini bermaksud anak muda atau siswazah yang tidak mempunyai pekerjaan di negeri Johor jauh lebih tinggi berbanding kadar pengangguran di peringkat negeri iaitu 3.5% pada tahun 2020. Kalau kita lihat purata gaji dan juga upah bulanan pula, pada tahun 2020, di seluruh Malaysia, purata gaji dan upah bulanan menurun daripada RM3,224.00 kepada RM2,938.00 iaitu -9.0% menurun. Bagi negeri Johor purata gaji dan upah bulanan bagi pekerja di Johor menurun sebanyak 13% kepada RM2,840.00 pada tahun 2020 berbanding tahun 2019, RM3,266.00. Jadi, kita boleh lihat daripada angka ini penurunan kadar purata gaji di Johor adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar di peringkat nasional. Ini adalah impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan dan bermacam-macam perintah lagi termasuklah perintah yang kita dengar dan sehingga hari ini kita lihat gagal, darurat yang telah pun dilaksanakan.

Kedudukan Malaysia dalam indeks daya tahan COVID-19 pula daripada Bloomberg melaporkan telah menurun daripada tangga ke-16. Ini kadar, ini indeks daya tahan COVID-19, telah menurun daripada tangga ke-16 pada Januari 2021 kepada kedudukan ke-51 pada bulan Jun yang lalu daripada keseluruhan 53 buah negara. Ini adalah angka-angka yang membimbangkan. Saya tidak menyebut banyak berkaitan dengan COVID secara langsung kerana saya fikirkan, Paloh fikirkan bahawa ada juga isu-isu lain, kesan ataupun dampak daripada pandemik COVID-19 termasuklah di negeri Johor ini.

Pada masa yang sama, di kalangan rakyat juga melihat bahawa di sana wujud trust defisit. Mula wujud pengurangan kepercayaan rakyat terhadap ahli politik. Saya meminjam satu tamsilan cereka yang dikisahkan oleh intelektual Malaysia yang telah pun meninggalkan kita akibat COVID eh, meninggal dunia minggu lalu, Profesor Dato’ Dr. Sidek Fadzil. Dia bawa satu cereka yang ringkas, dia kata alkisah di negeri pasir berdengung, telah pun menang dengan bergaya seorang Dato’ Seri menjadi Perdana Menteri, dia panggil tiga orang calon untuk menjadi menteri kabinet dia. Calon yang pertama masuk, dia tanya wahai calon, saya nak soal kamu sebelum saya angkat kamu menjadi menteri saya. Berapakah jawapannya jika 2x2? Ahli-Ahli Yang Berhormat berapa jawapannya 2x2? Calon yang pertama ini dia kata 2x2=4. Dia kata betul ke 2x2=4? Dia kata betul. Ini prinsip kita, dia kata gitulah lebih kurang ya, 2x2=4. Dia kata kalau 2x2=4 awak boleh keluar dulu. Calon yang kedua masuk dia kata 2x2 berapa? Dia kata, Dato’ Seri menurut perkiraan politik 2x2 boleh jadi 2 ataupun 2x2 boleh jadi 3, 4 atau 5. Menurut perkiraan politik. Dato’ Seri yang diangkat menjadi Perdana Menteri tadi sudah mula berasa kagum sikit. Naik calon yang ketiga, Dato’ Seri Perdana Menteri tanya kalau 2x2 berapa jawapan kamu? Yang ini paling hebat sekali. Dia kata 2x2 jawapan saya ialah ikut berapa Dato’ Seri mahu dia kata, kita boleh bagi berapa jawapannya. Maksudnya dia kata 2x2 boleh jadi berapa ikut apa yang Dato’ Seri mahu? Dan yang akhirnya di angkat menjadi menteri adalah calon yang ketiga ini. Ini cerita di sebuah negara Pasir Berdengung. Kita harap perkara yang sama tidak berlaku di negeri Johor yang kita cintai.

Justeru, di negeri Johor ini kita harus menjadi contoh dan kita telah pun menjadi contoh. Saya masih ingat Dato’ Menteri Besar dalam sidang Dewan yang lalu, mengangkat tema Rakan Strategi. Mengatakan bahawa di peringkat pembangkang mahupun kerajaan tidak ada bezanya dalam proses memajukan negeri Johor yang kita cintai ini. Kesannya apa? Diambil beberapa langkah, antaranya ialah yang pertama diberikan peruntukan kepada semua ADUN-ADUN tanpa mengira daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang yang mesti kita ucapkan terima kasih kerana ianya adalah demi bukan survival politik pada saya ianya ialah demi kepentingan rakyat yang kita wakili di kawasan masing-masing. Terima kasih.

Yang kedua, apa yang boleh lakukan daripada tema Rakan Strategik ini, iaitu penglibatan ADUN-ADUN termasuklah ADUN-ADUN pembangkang yang telahpun disebut oleh Kota Iskandar dan sebagainya, bahawa penglibatan dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah perlu dilibatkan semua Wakil Rakyat tidak mengira latar belakang mereka daripada parti pemerintah atau parti pembangkang. Saya ucapkan terima kasih kerana di beberapa daerah saya yakin telah pun terlaksana tetapi saya pusing ke kanan kiri ada setengah-

setengah daerah yang belum terlaksana. Kalau ucapan saya ini dilihat penting oleh Dato’ Menteri Besar dan seluruh barisan kabinetnya di negeri ini barisan EXCOnya saya, Paloh ingin mengangkat sekali lagi cadangan ini agar dilaksanakan semua Wakil Rakyat tidak kira pembangkang atau kerajaan di masukan ke dalam mesyuarat JKTD demi apa? Demi kepentingan rakyat. Saya bawa sifir yang mudah, pembangkang ada 27 kerusi, kerajaan ada 29 kerusi hampir terlalu nipis perbezaannya. 27 kerusi ini mewakili hampir separuh daripada bangsa Johor di negeri ini. Menafikan Wakil Rakyatnya membawa pandangan ke dalam JKTD seolah-olah kita menafikan separuh daripada bangsa Johor yang diwakili oleh Wakil-Wakil Rakyat daripada pembangkang untuk mengangkat suara rakyat ke dalam peringkat daerah. Dan, kita harus akui dalam keadaan sekarang ini banyak isu yang dihadapi oleh rakyat.

Timbalan Speaker

1 minit.

Saya dah nak habis puan Speaker. Pertama peruntukan terima kasih, kedua JKTD, yang ketiga dilibatkan bersama dalam kerangka rakan strategi dilibatkan bersama dalam jawatankuasa-jawatankuasa dalam membentuk hala tuju dan perancangan di peringkat negeri. Kalau boleh buat ini, saya ingat Johor juaralah. Saya ingat negeri lain pun malu dengan Johor, eh. Pembangkang dan kerajaan boleh bersatu hati dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang dibina, yang paling mudah saya lontarkan di sini kalau boleh pick up terus iaitu sewaktu ingin pelaksanaan bajet, kita bukan sahaja dijemput untuk mendengar. Kita dah dijemput dah beberapa kali yang lepas dan beberapa sesi tetapi untuk mendengar dan bertanya sahaja. Kalaulah kita boleh dijemput sama dalam proses melakar hala tuju ini, dalam proses pembuatan hala tuju ini, yang terdekat adalah bajet Johor itu adalah the best I think among others states kalau kita boleh laksanakan dengan izin. Justeru, saya nyatakan perkara ini amat penting demi bangsa Johor. Saya ambil contoh jiran saya, Johor Jaya, dalam masa 2 bulan 30,000 pack makanan tengah hari, saya ulang dalam masa 2 bulan 30,000 pack makanan tengahari di edarkan oleh Pusat Khidmat Johor Jaya. Kalau kita bahagikan kepada harian satu hari 500 pack makanan tengah hari yang diberikan kepada rakyat yang memerlukan. Kawasan dia di mana? Kawasan dia kawasan Johor Jaya diwakili oleh ADUN pembangkang, suara-suara ini mesti diangkat ke dalam JKTD dan suara-suara mewakili kawasan pembangkang, Wakil-Wakil Rakyat pembangkang harus di bawa masuk dalam merangka pelan ekonomi paling dekat adalah bajet Johor yang akan kita hadapi pada masa terdekat ini.

Jadi, saya rasa Paloh mengucapkan terima kasih atas kesempatan ini dan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Jemput Yang Berhormat Kemelah.

Dr. Sulaiman bin Mohd. NorAMANAH · PHKemelah

Bismillahirahmanirahim. (Berselawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Kemelah ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi kasih atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat ke Dewan yang mulia ini bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Sekali lagi negeri Johor menempah sejarah tahun 2021 kerana negeri pertama memulakan sidang Dewan Negeri dalam keadaan negara dan dunia dilanda wabak COVID-19 yang amat dahsyat. Kemelah juga ingin menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku Sultan menitah pada 20 Mei 2021 ketika Ordinan Rang Undang-Undang Darurat masih berkuat kuasa, agar perbincangan melibat semua Ahli Parlimen dan ADUN negeri Johor diadakan bagi memberikan buat fikiran dan pandangan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh bangsa Johor.

Kemelah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni bin Mohamad yang telah berbesar hati menyalurkan peruntukan tambahan RM150,000.00 kepada semua 56 ADUN di negeri Johor. Kemelah berharap kerajaan negeri melanjutkan usaha kerjasama ini dengan mengadakan

musyawarah di peringkat negeri dan daerah melibatkan semua Wakil Rakyat dibuat secara bulanan bagi membincangkan kaedah terbaik memulihkan keadaan kehidupan sosial dan ekonomi rakyat Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, peperangan kita terhadap wabak COVID-19 masih jauh. Di kalangan kita masih terdapat segelintir masyarakat yang masih belum yakin vaksinasi sebagai jalan penyelesaian keluar dari kemelut COVID-19. Libat urus dengan golongan ini perlu di terus dengan cara yang baik, hujah yang mantap, ketelusan dalam fakta dan data, dan penuh kasih sayang. Yang Berhormat Puan Speaker, varian Delta dengan R-Naught 5 ke 7, hingga ke-7 telah menjadi game changer dalam usaha memerangi wabak COVID-19. Namun hasil pemerhatian kita di dalam luar negara dan dalam negara telah menunjukan keberkesanan vaksin untuk mengurangkan risiko COVID-19. Contohnya, kita lihat negeri Sarawak telah mencapai 63.1% dos penuh bagi penduduk 18 tahun ke atas sehingga 31 Ogos tahun ini. Pada 1 September lebih 70% dari 978 Delta Varian yang dikesan dalam negara adalah terletak di negeri Sarawak dan disebabkan oleh kadar vaksinasi yang tinggi, kita lihat dari data yang ada pada 26 Ogos 2021, 99.8% dari 2,240 warga Sarawak yang positif COVID hanya berada pada tahap 1 dan 2.

Johor perlu terus meningkatkan tahap vaksinasi agar semua rakyat mendapat perlindungan yang baik. Kita perlu ingat, mutasi virus COVID-19 mudah berlaku apabila virus masih berlegar dengan aktif di dalam masyarakat. Kita masih belum boleh rehat kerana di depan kita masih banyak cabaran melawan wabak COVID-19. Pada 31 Ogos lepas Badan Kesihatan Dunia (WHO) telah menamakan satu varian baru COVID-19 miu sebagai varian interest. Miu mempunyai ciri yang berpotensi melepasi imuniti walaupun kita telah di vaksinasi.

Yang Berhormat Puan Speaker, kerisauan banyak pihak khususnya ibu bapa dan guru adalah penularan virus di kalangan anak-anak khususnya apabila sesi persekolahan secara bersemuka bermula. Kita masih belum memasuki fasa vaksinasi bagi anak-anak 12 tahun sehingga 18 tahun ke bawah. Tahun ini melihat peningkatan kematian di kalangan anak-anak di bawah umur 17 tahun dengan 141 kes kematian sehingga kini berbanding dengan 6 sepanjang tahun 2020. Satu peningkatan yang begitu besar. Kita juga menghadapi cabaran penurunan tahap imuniti vaksin setelah satu tempoh masa. Di beberapa negara vaksin ketiga mula diberi bagi golongan 60 tahun ke atas dan mereka yang punyai morbiditi setelah capai tempoh masa 6 hingga 8 bulan. Sehingga betul-betul wabak pandemik COVID-19 bertukar menjadi endemik bagi seluruh rakyat Malaysia, selagi itu peperangan kita tidak akan selesai. Perkongsian data yang lebih perinci bagi mereka yang diserang COVID-19 seperti peringkat umur, mengikut tahap peringkat keseriusan mengikut negeri dan daerah serta peratusan penerimaan vaksin mengikut daerah perlu dikongsi untuk analisa yang lebih perinci. Ini dapat membantu dalam usaha meyakinkan orang ramai keberkesanan vaksin serta perancangan proaktif melawan COVID-19.

Yang Berhormat Puan Speaker, kesan pandemik dan PKP telah memberi kesan terhadap sistem pendidikan negara. Menurut sistem pemantau PdPR negeri Johor yang dikemas kini sehingga 6 petang, 8 Julai 2021 hanya 50.46% murid berada atas talian untuk pembelajaran. Sementara 22.34% pelajar tidak mengikuti PdPR. Ini bermakna 1/5 dari pelajar di Johor tidak dapat mengikuti proses pembelajaran. Di kawasan Kemelah sendiri kawasan yang terlibat sama ada satu mukim, iaitu mukim Pogoh yang sehingga kini tidak mempunyai infrastruktur capaian internet yang baik. Perkara ini Kemelah telah suarakan kepada pihak SKMM sejak tahun 2019, namun sehingga kini masih belum mendapat apa-apa maklum balas yang positif.

Yang Berhormat Puan Speaker, dasar dan polisi yang baik amat diperlukan dalam memulih negeri dan negara. Pada bulan November tahun lepas, kerajaan menarik balik pengecualian dasar cabletech menyebabkan syarikat gergasi dunia Apricot, Facebook dan Google mengecualikan Malaysia dalam projek pemasangan kabel bawah laut yang baru. Projek ini bakal menguntungkan negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

Menurut pakar ekonomi Malaysia akan kehilangan pelaburan bernilai berbilion ringgit akibat tindakan pemain global besar tersebut. Kemelah ingin bertanya adakah dasar ini memberi impak dan kesan terhadap Johor Digital Master Plan? Apakah kesannya pula terhadap Projek Pusat Data Microsoft di daerah Kulai yang dikatakan telah 40% siap dan bakal menjana peluang pekerjaan sekitar 173,000 orang sebagaimana yang disebut oleh laman berita Channel Asia. Mungkin Yang Amat Berhormat Menteri Besar boleh memberi sedikit pencerahan berkaitan perkara ini.

Sebelum mengakhiri ucapan, Kemelah ingin membangkitkan terdapat rungutan daripada kalangan imam yang baharu serta bilal dan noja khususnya di dalam daerah Segamat yang sehingga kini masih belum lagi menerima elaun mereka. Walaupun mungkin jumlah elaun itu sedikit, namun ia dapat memberi bantuan khususnya dalam keadaan sara hidup yang sempit semasa pandemik COVID ini. Saya harap dan kita berdoa bersama-sama supaya kita dapat berusaha bersama-sama memerangi wabak COVID-19. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Jemput Yang Berhormat Simpang Jeram.

Dato’ Seri Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Berselawat.) Saya mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan untuk sama-sama merafak sembah menjunjung kasih kepada Baginda Tuanku Sultan Ibrahim kerana sudi untuk memberikan ucapan merasmikan Dewan yang mulia pada kali ini.

Tuan Speaker, saya mungkin bermula dengan beberapa perkara yang penting di saat kita masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini. Kita cuba untuk mencari satu jalan penyelesaian yang tuntas supaya rakyat didahulukan, negara mesti dipulihkan dan kita akan dapat meneruskan khidmat kita sebagai Wakil Rakyat yang akan kembali diuji oleh rakyat dalam PRU yang akan datang. Kita rasa kita perlu menamatkan apa yang dikatakan game of numbers, tidak perlu lagi kita untuk memikirkan siapakah Perdana Menteri, siapakah Menteri Besar yang entah kali yang ke berapa. Saya rasa apa yang berlaku kepada Yang Berhormat Gambir dan juga Pagoh menjadi suatu pelajaran dan bukan bahan untuk ditertawakan. Satu hari kita mengkhianati, satu hari juga kita boleh dikhianati.

Dalam tempoh 25 tahun negara merdeka, kita mampu melihat tiga Perdana Menteri. Kali ini, tak sampai tiga tahun, selepas PRU yang ke-14, kita ada tiga Perdana Menteri. Dan mungkin yang ke-10, wanauzubillah. Demikian juga dalam DUN yang mulia ini, kita ada tiga Menteri Besar dan kita tak mahu ada lagi Menteri Besar yang seterusnya. Game of numbers ini mesti ditamatkan dengan kita meletakkan nilai-nilai dan asas-asas yang kukuh yang sama-sama mungkin kita boleh pelajari di mana kita akan memberikan segala keutamaan dan fokus kepada mengembalikan kesihatan rakyat dan memulihkan ekonomi negara. Rakyat semakin susah, kelaparan dan kebuluran di ambang penderitaan dan saya cukup bimbang kalau kita tidak boleh menamatkan peperangan besar ini, rakyat akan lapar.

Kita belajar daripada Jakarta, di akhir kejatuhan Suharto. Bila bapak tidak lagi tahan mendengar tangisan anak-anak, bila anak-anak tidak boleh lagi tahan mendengar tangisan ibu yang kelaparan, maka mereka keluar ke jalan raya, memecahkan kedai-kedai dan gudang-gudang, when people take a law into their own hand, we are in trouble. Sekarang ini rakyat sedang menderita dan kami Pakatan Harapan di peringkat federal cuba untuk mencari jalan penyelesaian dengan beberapa persefahaman reform yang mungkin kita boleh persetujui bersama. Yang pertama adalah tentang bagaimana kita minta satu suntikan khas RM45 bilion. Suntikan ini mesti disegerakan, ia tidak memerlukan komitmen daripada Parlimen, tidak perlu ada lagi karenah birokrasi, kerana inilah di bawah punca kuasa ataupun diction, dengan izin, Perdana Menteri. RM45 bilion ini adalah untuk rakyat, untuk COVID. Sebenarnya kita 6 bulan terkebelakang dari segi menjalankan vaksinasi kepada rakyat. We are 6 month behind times. Ini mengikut laporan daripada Bloomberg dan jurnal-jurnal ekonomi antarabangsa akibat daripada karenah birokrasi dan ada pihak yang

menjadikan vaksin sebagai komoditi untuk mengayakan diri sendiri. Janganlah rakyat diperjudikan ataupun jangan rakyat dipermainkan dengan isu-isu yang remeh seperti ini lagi.

RM45 bilion ini akan kita cuba letakkan di bawah satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen bi-partisan, untuk kita pastikan RM45 bilion ini akan sampai ke setiap negeri-negeri dan daerah-daerah. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan ingin melanjutkan tadi ucapan daripada Paloh yang saya harap di mana kita daerah Muar, tak apa saya sebut yang baik, DO Muar, dia antara DO yang saya rasa boleh memberikan kerjasama yang baik. Saya mintalah Dato’ SS dengar-dengar saya puji ni, pembangkang puji, DO ni nanti diambil tindakan. Yang baik kita katakan baik dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Parlimen Muar, Pagoh, Bakri kita memberikan kerjasama kepada PPV.

Kita mendengar projek ataupun belanjawan rangsangan ekonomi diutarakan bilion-bilion ringgit. Tetapi bila PPV ini wujud, tak ada komputer riba, tak ada peralatan tulis, minta itu dan ini, dan kami ADUN-ADUN memberikan sumbangan. Saya tidak, kita tidak kesal dengan kita memberikan sumbangan kita ada peruntukan, tapi mana dia bilion-bilion ringgit itu? Dan kali ini, RM45 bilion yang kami cadangkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mesti diselenggarakan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen bi-partisan. Setiap sen duit itu kita akan percepatkan untuk kita yang pertama, memberikan vaksinasi herd humanity mesti mencapai matlamatnya, yang keduanya kita dapat memulihkan ekonomi kita, insya-Allah dalam tempoh masa yang terdekat.

Rakan saya Yang Berhormat Parit Yaani, dalam ucapannya telah mengajak kita semua untuk menjadi tokoh-tokoh negarawan yang berkelas dunia, Mahatma Gandhi, Mehru di India, Nelson Mandela, kita harus pergi pada tahap pemikiran politik rentas sempadan, rentas ideologi. Tetapi kita juga minta supaya semua ini berasaskan pada suatu landasan yang kukuh, suatu platform di mana kita ini benar-benar adalah merupakan law makers, we are the law makers. Sama ada kita sebagai Ahli Parlimen, kita sebagai ADUN, kita adalah pembuat dasar, kita bukan pelacur politik. We are not political prostitute. Sebab itu kita punya peranan, kita mahu untuk menjadikan Dewan Undangan Negeri Johor ini sebagai satu contoh, saya dan rakan-rakan di sini bersedia untuk menjadi pemangkin, menjadi individu-individu, DO-DO di seluruh negeri Johor mestilah memberikan kerjasama, melantik kita dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah supaya kita boleh contribute. Akan ada di kalangan kita yang akan mendapat malu kalau ADUN-ADUN duduk dalam JKPD untuk minta projek, bawak proposal minta bajet, itu bukan kerja kita, kita nak duduk dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk kita bawa isu rakyat, DO bersama memikirkan tentang masalah rakyat, meringankan atau mengurangkan karenah birokrasi dan inilah yang insya-Allah akan kita cuba memberikan sumbangan yang terbaik, kalau Johor ingin menjadikan contoh.

Dan secara objektif, kita boleh memberikan pujian kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang paling tidak pun boleh memberikan peruntukan kepada kita yang akhirnya kita semua itu kita berikan kepada rakyat. RM150,000.00 bukan masuk dalam akaun peribadi kita, masuklah akaun Pusat Khidmat kita yang akan diaudit yang kita semua tak nak digari oleh SPRM kerana isu wang yang sebanyak ini, kita mahu semua duit itu atau wang itu kita belanjakan untuk rakyat.

Yang keduanya, kita akan minta lagi RM10 bilion kepada Perdana Menteri untuk apa, untuk kita memberikan rangsangan kepada golongan-golongan belia yang hilang pekerjaan, pada mereka kumpulan-kumpulan SME yang terpaksa kedai-kedai mereka, kilang-kilang kecil mereka ditutup, moratorium tiga bulan mesti diberikan serta-merta tanpa faedah. RM10 bilion ini akan diperjuangkan.

Ini asas yang saya rasa mesti kita perjuangkan bersama dan doakan insya-Allah usaha kami ini, namakan apa sahaja tentang dokumen ini dan saya hanya ingin menyebut di sini sebagai cadangan awal adalah memorandum persefahaman dan reform yang akan kita

minta kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya dia memberikan suatu komitmen untuk rakyat. Dan sebagai pulangannya kita tak akan kacau lagi game of numbers ini. Ada pihak-pihak lagi yang meminta kita membilang-bilangkan lagi numbers-numbers ini, kita tidak akan berikan layanan. Pada 14 hari bulan September ini, itu terpulang kepada kerajaan baharu untuk bawa good of confident. Itu bukan business kita, itu bukan hal pembangkang. Tuanku Agong telah bertitah dengan jelas bahawa Perdana Menteri mesti membawa usul percaya dalam Parlimen. Walaupun ada riuh rendah di luar sana hari ini kata Peguam Negara kata tak payah, mungkin ada profesor-profesor yang mungkin diupah pula mengatakan tidak perlu, ini tidak betul dari segi Perlembagaan, ini bukan urusan kami. Tapi bagi kami...

Timbalan Speaker

Satu minit lagi.

Dato’ Seri Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Tuanku telah bertitah, patuhlah. Jangan ajar benda-benda yang macam ini, nanti kalau hilang istilah derhaka dari kamus Melayu, ini penting untuk saya rakamkan dalam Dewan yang mulia ini.

Kemudian kita juga mahu pada satu yang akhir Speaker, tentang kita minta supaya timbal balik untuk faedah adalah akta atau rang undang-undang lompat parti mesti di bahas dan diluluskan dalam Parlimen, untuk kita akhiri episod lompat melompat ini. Saya menjunjung titah Tuanku Johor, dan saya setuju jangan Dewan ini menjadi sarang beruk, saya setuju. Ampun Tuanku, patik setuju. Dengan adanya akta lompat parti ini, insya-Allah, Dewan, Parlimen dan DUN tidak akan menjadi sarang beruk. Dan saya ingatkan lagi sekali we are law makers. Rakyat bawa kita ke mari sebagai pembuat dasar, meletakkan harga diri kita untuk kita berperanan di sini bukan untuk kita menjual kerusi. In one breath, ini isu rakyat Speaker, ada kampung, walaupun saya ni Simpang Jeram, ADUN Pulai Sebatang agak keuzuran, ada dua sungai. Sungai Ayer Baloi dan Sungai Sang Lang yang meminta satu kerja pembersihan dan ada empat lima kampung yang sekarang ini tak tunggu musim tengkujuh, dan bila hujan dua tiga jam, kampung ini amat terjejas. Terima kasih diatas peluang yang diberikan. Mudah-mudahan kita di sini memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan rakyat akan menilai kita kembali pada PRU akan datang. Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat Bukit Batu.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHBukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam Perbahasan Rundingan Menjunjung Kasih Titah Tuanku Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 ini.

Pertama, izinkan saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua frontliners yang telah berkorban dan menyumbang masa serta tenaga sehabis-habisnya dalam masa kritikal ini. Setiap hari mereka terpaksa berdepan dengan masalah yang tidak berhenti seperti ombak yang memukul pantai. It just keep coming and coming and coming. Tapi walaupun letih walaupun penat mereka tidak pernah mengalah. Tiap-tiap hari tetap bangun dan mereka dan juga teruskan tanggungjawab mereka demi rakyat Malaysia. Terima kasih kepada kamu semua, awak semua adalah wira kami.

Kedua, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah memberikan peruntukan sebanyak RM150,000.00 kepada semua ADUN tidak kira, kerajaan atau pun pembangkang untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing. Hari itu Yang Berhormat Sri Medan kata dia tak dengar tepukan kita ya, so hari ini saya tepuk (Dewan bertepuk), saya harap Yang Berhormat Sri Medan dengar hari ini. Sememangnya gesture kami amat mengalu-alukan dan ini selaras dengan terma atau perkataan Rakan Strategik yang disebut oleh Menteri Besar Johor sendiri pada sidang bajet yang lalu.

Yang Berhormat Puan Speaker, walau bagaimanapun, saya rasa Rakan Strategik ini patut diberi tafsiran yang lebih meluas. Peranan seorang ADUN bukan sekadar edar sumbangan atau bakul makanan sahaja, seperti yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat lain dalam Dewan yang mulia ini, kita merupakan penghubung dan juga pelengkap kepada sistem kerajaan dan rakyat di bawah kawasan kami. Yang lebih penting dan bermakna adalah penglibatan kami di segi pentadbiran serta decision making process seperti JKTD dan Jawatankuasa Kesihatan COVID dan Jawatankuasa Pemulihan Ekonomi peringkat daerah dan negeri. Saya nak ulang sekali lagi, ini adalah pendirian yang telah dibawa hari ini juga oleh Yang Berhormat Kota Iskandar dari Amanah, yang telah dibawa oleh Yang Berhormat Paloh daripada DAP dan oleh saya daripada Parti Keadilan, ini adalah satu permintaan daripada Pakatan Harapan kepada kerajaan di depan sana haraplah dengarlah suara rakyat dan pandangan kami untuk mempertimbangkan cadangan kami. Saya cukup percaya sekiranya kerajaan sebab saya pun tidak tahu nama dia apa, BN ke PN ke apa, saya panggil kerajaan campuran sahajalah. Saya percaya sekiranya Kerajaan Campuran di depan ini bersetuju dengan pandangan kami di sini tentunya semua ADUN boleh memainkan peranan yang lebih bermakna dan kalau kerajaan ajak kita sama-sama memerangi pandemik COVID, maka sama-samalah, jangan cakap sebut sahaja, kita patut terlibat dalam Jawatankuasa di atas.

Yang Berhormat Puan Speaker, hari ini isu yang paling ketara adalah berkaitan wabak pandemik COVID-19. Soalan pokoknya, macam mana kami nak mengawal serta menurunkan jumlah jangkitan COVID dan pada masa yang sama memulihkan proses ekonomi negara, negeri kita. Hari ini jumlah jangkitan di Malaysia melebihi 1.8 juta dengan kematian lebih 18,000. Purata 4 minggu ini, tiap-tiap hari kita tengok tv hampir 20,000 kes setiap hari. Manakala di Johor, jumlah kes telah mencatat 150,000 dan semalam, setakat semalam 2,209 anak Johor telah menjadi mangsa kematian akibat COVID. Mangsa-mangsa ini bukan sekadar satu angka atau satu statistik sahaja Puan Speaker, setiap orang yang meninggal akibat COVID ini merupakan ayah kepada seorang anak, suami kepada seorang isteri, atuk kepada seorang cucu. Kita tidak boleh benarkan mereka mati begitu sahaja. Malangnya kerajaan Perikatan Nasional telah gagal menangani pandemik ini. Bila Malaysia diisytiharkan darurat pada bulan Januari 2021, jumlah kes harian adalah hampir 2,000 sehari. Tapi bila darurat tamat pada 1 Ogos tahun ini, kes harian adalah hampir 20,000 sehari. Sepuluh kali ganda sebab darurat. Kalaulah ini pun pandangan rakyat, kalaulah nak buat lock down buatlah dengan baik-baik. Lock down ini kena buat betul-betul. Dalam dunia ini ada benda boleh separuh masak Puan Speaker, saya boleh buat separuh masak telur. Boleh makan. Daging lembu pun separuh masak pun saya suka, medium. Tapi dalam dunia ini ada benda tidak boleh buat separuh masak. Ayam tak boleh separuh masak Puan Speaker, ada sawan merah. Lock down pun sama. Masa itu kalau buat dengan betul-betul, saya rasa hari ini kita tidak akan sampai kepada peringkat di mana rakyat tiap-tiap hari tengok ramai orang mati. Akhirnya kerajaan PN sudah berlalu dan kerajaan baru sudah naik, so saya harap kerajaan baru ini boleh buatlah dengan betul-betul, janganlah buat benda separuh masak lagi. Kalau nak masak, masaklah dengan betul-betul.

Yang Berhormat Puan Speaker, sekarang berhadapan kita ini, kita kena akui. Kita kena mengakui dan kita kena belajar untuk kita panggil life with the endemic. Cara terbaik untuk menang perang ini adalah meningkatkan kadar vaksinasi dan cuba mencapai imuniti kelompok dalam masa yang tersingkat. Kadar vaksinasi di Johor, betul ada peningkatan tetapi masih belum cepat lagi.

Yang Berhormat Puan Speaker, dua point utama dalam isu COVID ini. Pertama macam mana kita nak lawan COVID. Ini merupakan satu serangan dua mata. Ini serangan dua arah. Pertama, kita kena luaskan saringan MEST Testing. Kerajaan negeri ada sebut nak buat tetapi sampai sekarang saya masih tidak nampak apa-apa usaha yang konkrit daripada pihak kerajaan. Malah saya tidak boleh tunggu. Justeru atas inisiatif pejabat saya sendiri saya telah mula edarkan test kit RTK Antigen kepada golongan B40 di kawasan Bukit Batu. Menjelang hujung minggu inilah saya telah sasarkan, saya akan serahkan hampir, test kit kepada hampir 1,000 keluarga di bawah DUN Bukit Batu saya golongan B40 secara

percuma. Saya harap kerajaan boleh mencepatkan pengedaran test kit ini untuk kita mengurus pandemik COVID ini.

Kedua kita kena tambahkan kadar vaksinasi, kalau tengok hari ini, angka masih sangat tinggi. Kadar vaksinasi Johor walaupun ada naik tetapi yang peliknya, yang peliknya kes naik, tapi jumlah vaksinasi naik tapi jumlah kes juga naik. Sepatutnya kalau vaksinasi naik kes patut turun. Tapi di Johor ini, saya pun tak faham, vaksinasi naik tapi kes pun naik. So, ini sangat luar biasa. Semalam kes 2,165, so saya harap kerajaan boleh beri satu pencerahan macam mana fenomena luar biasa ini boleh berlaku di Johor. Bila vaksinasi naik kes pun naik. Mungkin ini pandangan saya, adakah kerajaan ada mengambil kira pendatang asing tidak izin. Adakah kita sasar untuk kita vaksin mereka. Sebab mereka ini suka tak suka, dia hidup di kalangan masyarakat kita. Dia pergi Econsave juga, dia pergi TESCO juga. Dia jalan-jalan. Adakah mereka ini dimasukkan sasaran untuk vaksin?. Kalau tidak kita vaksin satu Johor pun kalau orang ini tidak vaksin, sama juga.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya juga terkejut bila dilaporkan ada 779 guru di Johor yang tidak vaksin. Saya rasa ini adalah satu isu yang sangat serius dan ramai ibu bapa tentu tidak akan ada keyakinan untuk hantar anak-anak mereka ke sekolah bila sekolah buka balik pada 3 Oktober. Saya rasa kerajaan negeri ini perlu tegas. Wajibkan semua guru untuk divaksinasikan, satu. Dan, lebih tegas saya harap kerajaan boleh wajibkan semua kakitangan awam yang kerja di Johor ini wajib divaksinasikan sebab rakyat juga perlu berurusan dengan mereka walaupun di kaunter belakang. Kalau mereka tahu orang ini telah divaksinasikan tentu mereka ada keyakinan untuk berurusan. Saya rasa sebagai majikan, tidak ada apa-apa halangan yang terlalu ketat untuk polisi ini, atau dasar ini dilaksanakan di Johor. Ini hanya akan menunjukkan kerajaan betul-betul serius untuk lawan COVID.

Pemulihan ekonomi negeri, sedikit sahaja Yang Berhormat Puan Speaker, dalam zaman norma baru ini, kita tidak boleh lagi bergantung kepada pelan ekonomi yang dirangka 5 tahun dulu. Malah 2 tahun dulu pun boleh buang ke tong sampah. Mengapa? Contohnya sekarang, dalam norma baru ini, walaupun lepas pandemik COVID pun, saya cukup yakin benda akan sudah berubah. Contohnya sekarang apa yang didominasi di dunia. Sekarang ialah era e-dagang, e-commerce. E-commerce ini, industri e-commece ini dia punya nilai di dunia adalah hampir USD 5 trillion bersamaan RM5,000 billion. Tiap-tiap hari, tiap-tiap saat, 24 jam ada orang beli barang di internet. Mungkin sekarang pun ada YB-YB yang tengah tekan juga. Bila-bila masa pun boleh shopping. Maka apa usaha kerajaan Johor untuk membantu rakyat Johor meneroka e-commerce ini. Saya tidak nampak apa usaha-usaha setakat ini, saya boleh cadangkan kita boleh buat macam game show shut tank. Carilah start-up yang berpotensi, kerajaan boleh melabur, boleh beri geran atau pun beli ekuiti untuk menolong syarikat-syarikat start-up anak Johor untuk mereka berjaya di dunia internet ini. Lagi kita boleh buat insentif untuk menarik start up-start up ke Johor Bahru atau ke bandar Iskandar sini. Buatlah sini sebagai satu hub untuk e-commerce. Berilah insentif ke, pioneer status kepada mereka. Berilah insentif cukai bebas kepada mereka, tarik mereka ke sini. Dan satu aspek lagi ialah logistik. Sebab bila kita buat e-commerce kita banyak packaging, dia kena ke sini, kena ke sana. So, logistik juga memainkan peranan yang penting. Di Johor kita ada satu advantage iaitu geografi kita. Kita ada 3 pelabuhan bertaraf dunia. Satu airport yang bertaraf dunia, tentulah kita boleh mengambil kesempatan ini untuk menjayakan e-commerce logistic di Johor.

Begitu juga dengan Internet. Kita kena pastikan, Internet ini kita kena seimbang dengan dunia. Jangan cakap 5G, 4G pun kita kena sempurnakan. Liputan kena luas di seluruh Johor. Dan akhir-akhirnya, akhirnya jangan juga kerajaan negeri Johor lupa tolong SME di Johor. Di Johor ada hampir 100 entiti bisnes yang diklasifikasikan sebagai SME yang sangat-sangat terjejas bila orang Singapura dan warga Malaysia yang bekerja di Singapura tidak kembali untuk belanja di kedai-kedai di selatan Johor. Kerajaan Johor tidak boleh bergantung sahaja kepada pihak federal untuk bantu mereka. Saya yakin tentu ada cara kerajaan negeri juga boleh membantu SME tempatan yang sudah tidak dapat tahan lagi

kerana Johor setakat hari ini masih kita stuck tetap di fasa pertama PPN begitu lama. So, dengan itu, sekali lagi saya terima kasih kepada Puan Speaker. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat perbahasan telah tamat. Esok kita akan mendengar penggulungan daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan saya tangguhkan sehingga hari esok Selasa, 7 September 2021 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 12.33 tengah hari.