Johor · 23 August 2021
4th session, 1st meeting · 152 turns · 21,884 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam sejahtera. (Bacaan selawat).
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dukacita dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mohamad bin Haji Aziz, mantan Speaker Dewan Negeri Johor mulai 20 Jun 2013 hingga 27 Jun 2018, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan mulai 21 Oktober 1990 hingga 4 Mei 1995 dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri kawasan Parit Yaani mulai 24 Julai 1986 hingga 5 Oktober 1990 telah kembali ke rahmatullah pada 24 Disember 2020 yang lalu. Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Dato’ Haji Mohamad bin Haji Aziz. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bagi orang-orang Islam membaca Al-Fatihah dan bukan Islam berdiri bertafakur selama satu minit. Al-Fatihah. Terima kasih.
Soalan Lisan.Questions
Yang Berhormat Parit Raja, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 1.
Mohon dinyatakan langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mengawal harga barang keperluan asas sewaktu pandemik COVID-19 melanda.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Antara langkah yang sudah diambil kerajaan untuk mengawal harga barangan termasuk memperketatkan penguatkuasaan.
1. Kita, di Johor kita ada 200 penguatkuasaan yang menjalankan tugas setiap hari
untuk memastikan harga pasaran stabil dan berpatutan.
2. Kerajaan juga mengawal harga tetap untuk barangan asas yang, harga yang sudah
ditetapkan, harga subsidi iaitu termasuk gula, tepung dan minyak masak.
3. Kerajaan juga ada melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
untuk semua perayaan utama.
4. KPDNHEP mempunyai satu aplikasi ya, satu apps nama dia Price Catcher di mana
dia membolehkan pengguna untuk membuat perbandingan harga. Kita, usaha
mengawal harga bukan sahaja pada kerajaan. Kita nak consumer ataupun
pengguna juga menjadi smart consumer.
Itulah empat-empat langkah yang sudah diambil oleh kerajaan untuk mengawal harga barang-barang asas. Terima kasih.
Ya, Parit Raja.
Soalan tambahan Yang Berhormat Speaker. Terima kasih di atas jawapan daripada YB EXCO. Namun, kalau dapat saya mohon penjelasan mengenai kenaikan harga minyak masak yang berlaku walaupun minyak masak ini termasuk dalam kategori barangan kawalan dan adakah pemeriksaan-pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Berkenaan dengan minyak masak, di pasaran kita ada minyak masak subsidi dalam polibeg 1 kilogram, harga tu RM2.50. Selama ini, ini sudah lama. Tapi baru-baru ini kita mendapati harga CPO ya, yang minyak mentah sawit tu dia melambung tinggi dan dia menyebabkan minyak yang tidak terkawal dia melambung tinggi sama-sama. Untuk mengatasi masalah tu, kerajaan sudah letak harga siling mulai daripada 1 Ogos tahun ini di mana harga siling untuk minyak tulen sawit, minyak tulen sahaja kerana ada minyak yang sudah campur, minyak tulen sawit dia ada 1 kilogram, 2 kilogram, 3 kilogram dengan 5 kilogram. Harga siling untuk 1 kilogram tu RM6.20, yang 5 kilogram tu harga siling adalah tidak melebihi RM50.00. Terima kasih.
Soalan yang seterusnya Yang Berhormat Panti, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 2.
Minta nyatakan perkembangan terkini tentang bantuan peranti kepada seluruh sekolah di negeri Johor yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, serta apakah kerajaan negeri berhasrat untuk memperluaskannya?
Yang Berhormat Parit Yaani, jemput.
Soalan saya nombor 3.
Apakah status inisiatif 8,000 sumbangan peranti kepada sekolah di negeri ini bagi pelaksanaan program Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR)?
Jemput, YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Panti dan Yang Berhormat Parit Yaani.
Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar pada 10 Jun 2021 yang lalu. Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM126.86 juta bagi rakyat negeri ini yang terjejas dengan pandemik COVID-19 termasuk golongan M40 secara bersasar. Antara inisiatif yang akan dilaksana adalah bantuan sumbangan peranti kepada sekolah seluruh negeri Johor. Peranti ini akan dijadikan aset sekolah dan kemudahan ini akan dipinjamkan kepada seramai 8,000 pelajar yang kurang berkemampuan. Inisiatif ini termasuk membekalkan 8,000 pocket wifi, dengan izin, dengan talian Internet Broadband khas untuk kegunaan pelajar yang bakal menduduki SPM tahun 2022 yang juga diserahkan kepada pihak sekolah.
Pihak kerajaan melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan inisiatif ini. Di awal pelaksanaan program ini, satu penyelarasan telah dibuat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi menetapkan spesifikasi yang sesuai untuk digunakan oleh pelajar-pelajar berkenaan. Selanjutnya, pihak kerajaan telah melaksanakan kajian pasaran bagi mendapat
nilai terbaik, value for money dengan izin, pelaksanaan ini sebelum membuat perolehan melalui tatacara proses perolehan yang berkuat kuasa.
Proses perolehan telah dilaksanakan pada bulan Julai 2021 dengan jumlah kos RM25 juta bagi 8,000 peranti baharu. Bekalan peranti akan mula diedarkan kepada pihak sekolah pada awal bulan September ini dan dijangkakan selesai sepenuhnya pada November 2021. Cabaran mendapatkan bekalan peranti yang disebabkan oleh kekurangan bekalan global shortage, dengan izin dan gangguan pada rantaian bekalan telah menyebabkan anjakan masa jadual bekalan peranti. Pada masa ini, pihak kerajaan mendapat kerjasama secara terus dengan pengeluar peranti tanpa melalui pihak ketiga bagi meminimumkan gangguan tersebut.
Di samping itu juga, Jabatan Pendidikan Negeri juga sedia maklum berkaitan sumbangan komputer riba, tablet dan data Internet pelbagai pihak yang melibatkan Yayasan Raja Zarith Sofiah, Ahli-Ahli Parlimen, ADUN-ADUN, NGO, Yayasan-yayasan PBT, syarikat-syarikat dan individu bagi meringankan beban ibu bapa/penjaga bagi melaksanakan PdPR. Jabatan mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha pelbagai pihak yang sentiasa prihatin membantu penyelesaian isu peranti dan defisit pembelajaran.
Insya-Allah kami akan cadangkan untuk dimasukkan di dalam Belanjawan 2022, sekurang-kurangnya jika tidak dapat menambah kuantiti peranti, kita dapatlah sambung bayaran sewa talian wifi kepada pelajar-pelajar yang terpilih akan datang. Ini semua bergantung kepada unjuran kemampuan kewangan kerajaan negeri pada tahun hadapan. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan tersebut. Tadi Yang Berhormat EXCO ada nyatakan bahawa antara cabaran ialah, cabarannya ialah bekalan peranti itu sendiri. Saya cuma nak tahu, kita pun tahu bahawa teknologi ini sentiasa berubah dengan cepat. Maknanya kalau telefon kita tu kadang dalam setahun, dua tahun dia upgrade. Bagaimana perancangan kerajaan negeri kalau hendak pastikan peranti ni sentiasa up to date, dengan izin. Maksudnya, kalau digunakan oleh, sebab peranti itu adalah pinjaman. Kalau digunakan oleh pelajar yang berikutnya ia masih relevan lagi pada waktu itu. Dan kedua, bagaimanakah kaedah pemilihan pelajar? Berapa peratuskah pelajar SPM yang dapat peranti itu berbanding jumlah pelajar yang menduduki SPM? Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, saya menjawab dulu kriteria pemilihan murid yang dipinjamkan adalah murid tingkatan 5 dalam golongan terpinggir, B40 terutamanya daripada keluarga ibu tunggal. Murid yang mempunyai potensi untuk belajar dalam PdPR. Makna yang mereka beri, pasti mereka ini tidak akan mengabaikan kemudahan yang diberikan. Seterusnya murid yang masih belum menerima sumbangan peranti dari agensi-agensi lain. Kalau dia dapat daripada Wakil Rakyat, kita ada data dan sebagainya, kita tak bagi lagilah. Dan, seterusnya tidak mempunyai akses terhadap pembelajaran dalam talian dan komputer ini kita install sekali software. Kalau yang tak ada wifi pun kita boleh gunakan macam contohnya soalan, soalan-soalan ini dia boleh masukkan software dan dia boleh tengok dalam sistem tersebut.
Dan, macam mana dia nak ni, sebenarnya komputer ini diserahkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor, dia ada unit dia sendiri, Bahagian ICT yang akan memantau dan sentiasa bertanggungjawab untuk membuat penyelenggaraan dan juga apa yang berlaku tentang teknologi, bahagian ini yang bertanggungjawab. Dan, sebenarnya peranti komputer ini dijadikan dipanggil Aset Alih Kerajaan. Bila dia serah kepada kerajaan negeri dipanggil Aset Alih Kerajaan di mana mereka merujuk kepada Pekeliling Perbendaharaan Malaysia AM2.0 dan aset ini hendaklah sentiasa disimpan dengan selamat dan sentiasa di bawah kawalan yang dipertanggungjawab. Dan di peringkat sekolah pula, di sekolah-sekolah
menengah ni, yang kita bagi ni semua sekolah menengah, ada memang guru yang berkelayakan dipanggil Guru ICT yang sentiasa memantau bukan setakat dari segi software nya, komputernya dan juga dipantau supaya pelajar ini jangan salah guna, menggunakan komputer tersebut. Termasuk menekan masuk apa, install suka-suka, install software lain dan sebagainya. Terima kasih Yang Berhormat.
Ya, Parit Yaani.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Speaker. Soalan tambahan daripada Parit Yaani. Pertama sekali berapa buah sekolah kawasan luar bandar yang terima kalau tadi bilangan kriteria, yang saya nak tanya bilangan sekolah di luar bandar? Yang kedua, apakah langkah kerajaan untuk memastikan peranti yang diberi itu boleh digunakan oleh pelajar berkenaan kerana pelajar ini kadang-kadang duduk di rumah kalau nak pakai. Dalam suasana hari ini dia tak ke sekolah, dia kat rumah. Kalau dia nak gunakan pembelajaran itu, PdPR, kawasan ni tak ada Internet, luar bandar. Jadi, apa langkah kerajaan nak dapatkan supaya pelajar ini boleh guna, tambahan kepada, selain daripada peranti dia dapat, tapi Internet itu sendiri, capaian Internet. Bagaimana langkah kerajaan?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, menjawab soalan tambahan. Saya tidak ada pecahan dari segi data sekolah luar bandar dan sekolah bandar tapi data yang saya dapat adalah jumlah mengikut daerah. Dan, kita bagi komputer ni anggaran dia 27 atau 28 set setiap sekolah menengah dan saya bacakan sedikit rekod daerah. Daerah Batu Pahat, 32 sekolah; daerah Johor Bahru, 47 ni 32 sekolah. Saya ulang daerah Batu Pahat 32 sekolah melibatkan bilangan 866; daerah Johor Bahru 47, 1,316; daerah Kluang 29 sekolah, 812; daerah Kota Tinggi 23, 644; daerah Kulai 19 sekolah, 532; daerah Mersing10, 280; daerah Muar 26, 728 buah; Pasir Gudang 38 sekolah, 1,064; Pontian 18, 504; Segamat 25 sekolah, 700 buah; Tangkak 16, 444 sekolah. Keseluruhannya 283 dan ada baki 76 yang kita dalam simpanan yang belum kita buat keputusan. Dan, komputer ni merujuk kepada soalannya sebab itulah kita ada kerjasama dengan Microsoft dan komputer ni dia akan masukkan software sekali mana kawasan yang tidak ada Internet software-software tersebut macam kuiz soalan-soalan latihan, kuiz dan juga video-video ni dia video-video kaedah pengajaran dimasukkan, di load kan dalam sistem tersebut. Sebab tu dipilih kita kali ini kita tak pilih tablet, kita pilih komputer supaya memori dia lebih besar dan kita boleh install dia punya software. Terima kasih Yang Berhormat.
Seterusnya Yang Berhormat Bukit Pasir, jemput.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 4.
SOP sembelihan korban yang diluluskan semasa sambutan hari raya korban tahun ini dilihat terlalu ketat dan memberi kesan yang besar kepada penternak. Adakah SOP tersebut telah dikaji secara menyeluruh tentang pelaksanaan dan kesannya kepada semua pihak yang terlibat?
Jemput, YB EXCO.
Bismillahirahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Bacaan selawat). Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi menjawab soalan daripada sahabat kita Bukit Pasir, SOP ibadah korban bagi tahun 1442 Hijrah telah dilaksanakan setelah mengambil kira situasi wabak COVID-19 di negeri Johor pada ketika ini serta juga pandangan-pandangan daripada Jabatan
Kesihatan Negeri, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri juga perkenan daripada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
Pada tahun ini proses pelaksanaan ibadah korban dilaksanakan sepenuhnya di 164 pusat penyembelihan yang berdaftar di bawah Jabatan Veterinar. Ianya meliputi proses sembelihan, melapah, memotong daging dan membungkus. Jawatankuasa masjid dan surau atau penganjur ibadah korban di pusat-pusat sembelih terus mengedarkan daging-daging yang berkenaan kepada mereka yang telah menempah sembelihan korban tersebut. Bagi memastikan SOP ini dengan berjalan dengan baik dan lancar, satu mesyuarat antara Jabatan Veterinar Negeri dan Jabatan Agama Negeri dan semua pelesen-pelesen telah diadakan pada 20 Jun 2021, yang telah dihadiri oleh 85 pelesen di seluruh negeri Johor bagi mengatur dan mengambil persefahaman bersama tentang SOP ibadah korban pada tahun ini.
Dalam tempoh wabak COVID-19 ini Yang Berhormat Tuan Speaker, semua sektor adalah terjejas seperti pelancongan, perhotelan, perindustrian termasuk penternakan. Namun begitu, korban pada tahun ini, Yang Berhormat Tuan Speaker, masih dapat dilaksanakan dengan jayanya di pusat-pusat sembelih dengan jumlah haiwan ibadah korban pada tahun ini sebanyak 6,037 ekor telah disembelih pada tahun ini. Bagi memastikan pusat sembelih patuh dengan SOP korban Jabatan Agama Islam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak Polis dan pihak RELA turut bersama-sama memantau keadaan. Bagi memastikan ianya betul-betul berjalan lancar, saya sendiri bersama dengan Jabatan Veterinar, Pengarah, Timbalan Pengarah telah turun padang dan memeriksa sebanyak 21 pusat-pusat sembelih malahan pada ketiga-tiga hari Tasyrik.
Untuk makluman Yang Berhormat Speaker, kami juga turun padang melihat secara dekat pusat-pusat sembelihan pada tahun ini, alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak seperti mana yang dikehendaki oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, jangan sampai ada kluster ibadah korban, alhamdulillah Yang Berhormat Tuan Speaker, tahun ini Johor tidak ada kluster ibadah korban. Terima kasih.
Soalan yang seterusnya, Yang Berhormat Mengkibol, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 5.
Berapakah kutipan bayaran lesen perniagaan di setiap PBT untuk tahun 2020 dan 2021?
Jemput, YB EXCO.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam makmur Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada Mengkibol atas soalan yang berkaitan dengan kutipan bayaran lesen perniagaan bagi negeri Johor tahun 2020 dan 2021. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, tahun 2020 dan 2021 adalah tahun yang mencabar, tahun perniagaan yang sukar, tahun PKP, tahun yang sekejap kedai buka, sekejap kedai tutup dan tahun-tahun yang begitu menyukarkan peniaga-peniaga.
Untuk makluman Dewan yang mulia, ada sejumlah 50 jenis lesen yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan bersesuaian mengikut PBT masing-masinglah contoh MBJB ada 51 jenis lesen contohnya ialah lesen pasar raya, lesen kedai makan, lesen pejabat dan macam-macam lagi lesen. Untuk makluman Dewan yang mulia, setakat 21 Julai 2021, jumlah lesen yang berdaftar di negeri Johor sebanyak 147,135 pemegang lesen. Hasil lesen menyumbangkan sebanyak 30% hingga 35% kepada Hasil Bukan Cukai mengikut PBT masing-masing. Pada tahun 2020, jumlah kutipan hasil lesen bagi 16 PBT di seluruh Johor sebanyak RM64.029 juta. Bagi tahun 2021 sehingga 31 Julai 2021, kutipan hasil lesen sebanyak RM32.9 juta.
Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker dan Dewan yang mulia ini, berlaku penurunan kutipan hasil lesen disebabkan kita mengecualikan lesen penjaja, lesen PKS mikro dan juga pengusaha pelancongan, hotel dan syarikat-syarikat pelancongan. Dan, di bawah inisiatif ini pengecualian di bawah agenda Johor Niaga dan Belanjawan 2021 seramai 36,700 penjaja PKS dan hotel yang kehilangan hasilnya berjumlah RM6.011 juta. Jadi, untuk makluman saya rasa tidak perlu saya bacakan details nya satu-satu Yang Berhormat ia akan mengambil masa yang panjang. Cuma untuk makluman Dewan yang mulia ini, kalau untuk Kluang jumlah pemegang lesen adalah sebanyak 9,534, kutipan hasil 2020, RM3.5 juta dan sehingga 31 Julai RM3.2 juta. Detail nya saya akan serah kepada Mengkibol lah, Yang Berhormat. Jadi, kita faham keadaan yang sukar bagi tahun 2020 dan 2021.
Semua pihak PBT tak mengenakan kompaun dan denda lewat kita faham keadaan ini, dan saya telah kecuali Majlis Daerah Tangkak, dia telah mengenakan denda lewat bagi bayaran lesen selepas 31 Julai 2021. Itu akan saya bincang balik dengan pihak Majlis. Tapi 15 PBT lain tidak akan mengenakan kompaun dan denda lewat bagi mereka yang lewat memperbaharui lesen ataupun membuat bayaran untuk makluman Yang Berhormat. Itu sahaja Yang Berhormat jawapan yang boleh saya sampaikan.
Ya, Mengkibol, jemput.
Terima kasih Tuan Speaker, soalan tambahan. Kalau kita tengok ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam, kedudukan kewangan yang stabil, hasil kerajaan negeri melebihi RM1 bilion setakat ini dan kita tengok penyata kewangan audited, penyata kewangan tahun 2019 yang kita semua terlibat hampir semua PBT mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan kalau kita tengok hasil contohnya kalau Kluang jumlah tunai dalam bank RM87 juta, Batu Pahat RM94 juta, Muar, RM86 juta. Hasil cukai jumlah katakan Kluang RM8 juta cuma 90%, Batu Pahat 6.75%, Muar, 6.47% kalau Kulai lagi kurang 3%. Jadi, sebagai kerajaan prihatin adakah kemungkinan untuk kerajaan memberi pengecualian lesen perniagaan, PBT terutamanya kepada mereka yang tidak dibenarkan beroperasi dalam MCO contoh kedai gunting rambut, kedai persolekan dan sebagainya. Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Yang Berhormat, pendekatan pihak PBT bagi tahun 2021,kita cukup berjaga-jaga dari segi perbelanjaan Yang Berhormat tapi Yang Berhormat nampak ada surplus sebab banyak perbelanjaan-perbelanjaan mengurus yang tidak dapat dibelanjakan contohnya pembelian harta modal dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah berpesan supaya beberapa PBT yang dulunya defisit diambil kira supaya kita dapat berbelanja hemah dan alhamdulillah untuk makluman Dewan yang mulia ini, daripada 16 PBT satu sahaja yang mengalami defisit yang cukup tak membimbangkan boleh kita bantu iaitu Majlis Daerah Labis iaitu defisit dalam RM3 juta. 15 PBT yang lain alhamdulillah Yang Berhormat, kita dapat kedudukan kewangannya yang kukuh.
Saya fahamlah maksudnya kenapa ada lebihan tapi kalau Yang Berhormat melihat kawasan Kluang, kawasan Batu Pahat, Majlis Johor Bahru memang lesen ni tak berapa sangat kesannya kepada Hasil Bukan Cukai tapi bagi daerah Tangkak, Majlis Daerah Tangkak, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Daerah Simpang Renggam, contribution bayaran lesen besar walaupun mereka tidak boleh niaga contohnya salon, kedai gunting rambut, kerajaan negeri melalui PRE 3.0 ni memberi peruntukan inisiatif bantuan One-Off kepada gunting RM500.00, salon pun RM500.00. Itu tak, kita fahamlah, keadaannya tidaklah boleh membantu tapi sekurang-kurangnya itulah agenda kerajaan dalam membantu meringankan beban semua peniaga. Itu yang dapat saya sampaikan Yang Berhormat Tuan Speaker.
Seterusnya Yang Berhormat Tiram, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 6.
Apakah perancangan dan pelan tindakan kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar pengangguran khususnya di kalangan graduan dan penganggur pasif?
Jemput, YB EXCO.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tiram yang mengutarakan satu soalan yang baik.
Bagi makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan negeri melalui Unit Strategik Modal Insan iaitu SMI telah merangka pelan perancangan dan tindakan pro-aktif bagi menangani isu modal insan terutamanya isu pengangguran. Kerajaan negeri yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah melancarkan pelbagai inisiatif antaranya Ikhtiar Makmur Johor selain meletakkan sektor Modal Insan antara fokus utama kerajaan negeri dalam Belanjawan Johor 2021 di bawah Agenda Modal Insan Johor.
Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah Agenda Modal Insan Johor adalah seperti berikut :
Pertama, Program Gerak Kerjaya Johor. Ia adalah sesebuah program yang berperanan menyediakan platform atau peluang pencarian pekerjaan bagi golongan penganggur dan yang mencari pekerjaan. Program ini adalah hasil usaha sama strategik Unit Modal Insan Johor bersama agensi-agensi berkaitan mahupun para majikan. Apa yang kita lakukan dalam program ini, kita menyediakan satu platform dan pemohon-pemohon yang memohon kerja akan disediakan secara online untuk berinteraksi dengan majikan-majikan yang memerlukan mereka. Jadi, program ini berjaya telah kita lakukan daripada tahun lepas dan tahun ini juga kita juga bergerak daripada daerah ke daerah cuma kita hanya mampu melakukan pada siri yang kedua setelah kekangan PKP diadakan. Jadi, kita akan teruskan, sebab apa kita rasa ramai yang manfaat di dalam program ini.
Kedua, Program Latihan Kemahiran iaitu MAHIR JOHOR. Satu sebuah inisiatif yang melibatkan dua gerak kerja iaitu Program Peningkatan Kemahiran dan Program Pemahiran Semula. Di bawah Program ini, Unit SMI menawarkan pelbagai kursus latihan peningkatan kemahiran dan program pemahiran sepertimana yang dijalankan dengan kerjasama beberapa institut penyediaan latihan yang diiktiraf. Ini yang dimaksudkan upskilling dan re-skilling yang mana kita sedia maklum ia ada juga kursus ataupun latihan yang memerlukan latihan secara fizikal untuk melayakkan seseorang itu diiktirafkan sebagai layak untuk menjawat jawatan-jawatan yang dipohon. Jadi juga dengan kekangan PKP, sesi latihan secara fizikal kita terhenti dan akan diteruskan apabila kelonggaran dibuka kelak.
Ketiga, Program Pensijilan Tenaga Mahir. Program ini adalah kerjasama di antara Unit SMI dan Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia. Program ini juga dilaksanakan bagi membantu pekerja yang berpengalaman terutamanya pekerja yang diberhentikan untuk mendapat Sijil Kemahiran Tahap 2 atau 3 bagi peningkatan kerjaya dan pekerjaan mereka. Kerajaan juga turut giat menjalinkan kerjasama strategik mahupun usaha sama pintar bersama agensi-agensi serta institusi-institusi yang berkaitan antaranya IRDA, IIB, Educity, Johor Petroleum Development Corporation, Johor Skill Government Centre, Akademi Binaan Malaysia dan beberapa lagi institusi pengajian tinggi dan awam mahupun swasta bagi tujuan yang berkenaan. Antara program yang telah dan sedang dilaksanakan hasil usaha sama ini adalah Program Upskilling dan Re-skilling
bersama IRDA, IIB, Johor Skill. Dan program perantis Iskandar bersama Educity, program peningkatan kemahiran dalam sektor minyak dan gas bersama JPDC serta lain-lain agensi.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri menerusi Unit SMI aktif mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak bagi mendapatkan input-input serta informasi yang berkaitan. Antara pihak yang terbabit dalam sesi ini yang diadakan secara fizikal dan virtual, itu adalah pihak majikan juga pemain utama industri, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, jabatan-jabatan, agensi-agensi, organisasi serta pertubuhan yang berkaitan. Selain daripada usaha tersebut, kerajaan negeri juga telah pun dalam tindakan menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor.
Bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta melahirkan lebih ramai modal insan yang mahir dan yang berdaya saing pasca COVID-19, kerajaan turut merancang bagi penumpuan sektor industri baru yang lebih relevan dan lebih praktikal buat masa ini. Antara sektor industri baru yang akan diterokai adalah industri yang berteraskan Future Emerging Technology, Internet of Things dan juga industri kreatif yang mana tenaga mahir yang dilahirkan dari sektor-sektor berkenaan tidak akan bergantung penuh kepada peluang-peluang pekerjaan atau majikan. Mereka akan mampu mempunyai pilihan alternatif iaitu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dari sebuah syarikat atau perniagaan yang ditubuhkan ianya akan mewujudkan lebih dari satu peluang pekerjaan. Sekian, terima kasih.
Ya, Tiram jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker terima kasih, soalan tambahan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO yang memberi satu penjelasan begitu panjang. Soalan tambahan saya ialah, sektor-sektor bolehkah list kan sektor-sektor manakah yang masih kekurangan pekerja jawatan kosong, boleh diisi oleh pekerja terutama keperluan graduan? Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Tiram. Ini satu lagi soalan yang baik untuk kita berkongsi. Merujuk kepada laporan yang dah dikeluarkan oleh PERKESO dan yang mana ianya kita boleh capai dengan melayari laman sesawang myfuturejob. Setakat Jumaat 13 Ogos 2021, jumlah jawatan kosong di seluruh negeri Johor yang ditawarkan adalah sebanyak 15,575. Bagi jumlah jawatan kosong yang belum diisi mengikut pecahan sektor yang mana ditanya oleh YB Tiram, dia merangkumi perpuluhan sektor. Jika saya nak sebutkan di sini pun, saya rasa tidak mampu dan masa pun tidak bersama saya, jadi saya boleh bagi dalam 10 sektor yang teratas. Sektor profesional, jumlah kekosongan merangkumi tiga ribu lebih dalam anggaran 3,700. Pembuatan pengilangan di tahap nombor 2, sebanyak 2,700. Sektor penginapan, mencecah 2,500. Sektor kewangan dan insurans anggaran 1,621 dan lain-lain perkhidmatan 928 dan pendidikan 600, yang lain-lain itu semua bawah pada 1,000. Jadi, inilah yang kita rasa kenapa kekosongan tidak diisikan. Mungkin, saya...
Pertanian, tak ada ya Yang Berhormat, Sektor Pertanian?
Pertanian 380. Semua jawatan dalam sektor-sektor yang saya sebutkan tadi itu, dinyatakan adalah terbuka kepada semua warga negeri Johor dan ia termasuk kepada golongan penganggur, golongan mereka yang telah hilang pekerjaan dan mahu juga graduan. Jadi, kita akan bertanya kenapa jawatan ini tidak diisi? Ini juga saya nak berkongsi berbagai effort, usaha yang telah kita lakukan. Ini juga sikap memilih kerja dan juga setelah hebahan yang kita telah buat, kurang mengambil peka dan kurang mengeffort untuk melayari laman-laman web yang dah kita sediakan dan juga faktor gaji dan juga faktor logistik. Jadi saya mengambil kesempatan di sini hubungi kami, hubungi pihak
PERKESO, hubungi pihak Unit SMI, banyak peluang pekerjaan yang ada dan pada ketika ini kita jangan nak memilih kerja. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Ini soalan berkenaan dengan pengangguran dan kita dapati bahawa di negeri Johor untuk tahun 2020 kalau berbanding dengan tahun yang sebelumnya 2019, di negeri Johor kita dapati bahawa pengangguran telah bertambah sebanyak 17.6% dan juga daripada perangkaan yang dikemukakan oleh DOSM, Department Of Statistics Malaysia, bukan sahaja pengangguran bertambah tetapi juga pendapatan min salary untuk degree holder, untuk diploma holder, untuk mereka yang skill, semi skill semua turun. Min salary pun turun, bermaksud dia akan menjejaskan pendapatan. Sudah sebab salary sudah turun kan, dia akan menjejaskan kehidupan pekerja-pekerja. Maka, saya ingin tahu apakah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mempertingkatkan lagi mungkin dari segi skill atau dari segi macam mana kita nak memastikan bahawa pendapatan dia tidak berkurang. Sebab dari inflation kalau pendapatan pun berkurang bermaksud dia punya purchasing power pun kurang, so dia akan ada impak pada kehidupan dan kepada ekonomi negara kita. So, saya pun apakah yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan?
Ok, jemput YB EXCO.
Terima kasih. Saya rasa soalan ini Yang Berhormat sendiri pun tahu jawapan dia. Kadang-kadang kita gunakan peluang masa sekarang ini kita bertanya sesuatu informasi yang kita tak tahu. Inilah masanya kita dapat informasi ini. Kalau kita bertanya soalan yang kita dah tahu jawapan, rasa saya ataupun kita buang masa di sini.
Untuk makluman, bila kita cerita pengangguran, bila kita nak buat satu comparison dengan previous year of course, increment, kenaikan akan menaik. Kita tahu keadaan COVID apa yang berlaku sekarang dan di mana operasi-operasi syarikat dihentikan, cost production dihentikan, syarikat-syarikat terikat dengan pesanan-pesanan untuk dihantar ke luar negara dan syarikat-syarikat ini kena saman ganti rugi kerana breach contract, non compliance of business contract. Jadi ini kita lalui ini semua. Jadi, di sinilah berlakunya bila aliran wang tunai syarikat, income syarikat terjejas, macam mana downsizing of employee tak berlaku. Di mana-mana merata-rata kita tengok cut cost, downsizing. Ini semuanya berlaku. Benda ini kita tak dapat elakkan lagi. Kita boleh cakap 70,000 penganggur, yes how we are going to address this issue? Bila kita buka kilang, timbul kluster kilang dan kita mempunyai antara persimpangan untuk selamatkan ekonomi dan nak selamatkan rakyat.
Jadi, sebab itu saya mengucapkan terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar banyak membantu saya di bawah Portfolio saya, yang mana kita turun padang, kita jumpa syarikat-syarikat yang besar yang mana tertekan mengalami kerugian yang amat besar beratus juta hanya hingga boleh cerita plan to exit from here. Dah start perbandingan dengan negara lain yang mempunyai kelonggaran dalam SOP mereka, insentif-insentif yang lebih baik dari kerajaan kita. Inilah hasil kami dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersama dengan JETCO, bersama dengan Unit SMI, kita turun, kita mendengar keluhan dan rintihan mereka dan di sini kita dengan agensi-agensi MITI juga terlibat, Local Council terlibat, kita buat rayuan untuk memberi sedikit kelonggaran untuk membantu mereka agar pengangguran dapat kita kurangkan. Jadi, sebab itu banyak program yang kita usahakan untuk menurunkan kadar pengangguran. Setelah saya sebut tadi, yang kita buat upskilling, re-skilling, gerak kerjaya reach out. Ini semua adalah untuk menempatkan mereka untuk kerja tetapi kita kena pastikan ada industri-industri player yang berminat untuk mengambil mereka dan mampu untuk mengambil mereka. Sekian, terima kasih.
Seterusnya, Yang Berhormat Bukit Naning jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 7.
Adakah Program Cari Orang Memerlukan Bantuan (COMB) telah mencapai sasaran pada tahun 2021 dan berapakah penerima di kawasan DUN Bukit Naning.
Jemput, YB EXCO.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Naning atas soalan.
Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor telah melaksanakan Program Cari Orang Memerlukan Bantuan (COMB) yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Agenda Johor Berkebajikan menerusi Belanjawan Johor 2021 bagi menyantuni rakyat yang terkesan dengan mensasarkan 10,000 orang yang akan dapat manfaat.
Program ini juga melibatkan semua agensi di bawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan juga Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor diberi tanggungjawab bagi menyelaraskan COMB dan telah menerima sebanyak 18,619 permohonan dari seluruh Johor bermula 1 Februari 2021 hingga 28 Februari 2021. Dari jumlah tersebut, sebanyak 6,265 permohonan telah dipertimbangkan untuk kelulusan, 2,471 sedang dalam proses siasatan manakala 9,883 pemohon tidak melepasi syarat kelayakan pertimbangan kelulusan.
Untuk makluman Yang Berhormat sebanyak 102 permohonan COMB telah diterima dari kawasan DUN Bukit Naning dan 82 permohonan layak untuk kelulusan sementara 18 permohonan masih dalam proses siasatan manakala 2 permohonan tidak memenuhi syarat kelayakan pertimbangan kelulusan. Terima kasih.
Soalan seterusnya. Yang Berhormat Perling, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 8.
Bagaimanakah usaha pihak kerajaan melibatkan pengangkutan awam seperti teksi, perkhidmatan e-Hailing, bas awam, bas sekolah, bas kilang, van sekolah, van kilang dalam usaha meringankan beban pihak berkuasa dalam melawan pandemik COVID-19?
Jemput, YB EXCO.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Perling di atas soalan yang diajukan.
Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini. Sejak dari PKP 1, pihak kerajaan melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) telah terlibat secara langsung dalam membantu penyediaan pengangkutan semasa pandemik. PAJ bertindak sebagai perantara dan jabatan sokongan bagi memenuhi perkhidmatan pengangkutan sewaktu pandemik. Walau yang demikian, sejajar dengan pematuhan SOP dan pihak Majlis
Keselamatan Negara hanya mod pengangkutan bas, teksi dan e-Hailing sahaja yang mempunyai akses berkapasiti 50%.
Justeru itu, antara usaha membantu pihak berkuasa dalam menangani pandemik dengan menggunakan pengangkutan awam adalah pihak PAJ telah mengurus keseluruhan Person Under Surveillance yang tiba dari luar negara khususnya dari Singapura dan dihantar ke pusat-pusat kuarantin menggunakan perkhidmatan awam iaitu bas di dalam daerah Johor Bahru dan sebahagian di luar daerah Johor Bahru iaitu Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi dan Kulai.
Kerajaan negeri juga telah mengarahkan PAJ untuk membantu menyediakan perkhidmatan pengangkutan menggunakan bas awam untuk pejalan kaki yang merentasi sempadan negara antara Malaysia dan Singapura iaitu di Tambak Johor di bawah skim Hijau Timbal Balik (RGL) dan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA). Dan, perkhidmatan ini melibatkan perkhidmatan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura di kawasan Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ke CIQ Woodlands dan sebaliknya.
Sehingga kini terdapat lagi bantuan-bantuan pengangkutan yang melibatkan pengangkutan awam untuk membawa pesakit COVID-19 ke hospital serta bantuan pengangkutan ke pusat-pusat vaksin di seluruh Johor. Permintaan pengangkutan untuk tujuan COVID juga disempurnakan melalui bas awam dan PAJ sentiasa memberi sokongan melalui keperluan-keperluan yang dimohon oleh pihak-pihak tertentu di daerah bagi membantu pengangkutan ke pusat-pusat vaksin. Sekian, terima kasih.
Ya, jemput Perling, soalan tambahan.
Ya, terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Cuma, soalan tambahan saya begini. Tadi Yang Berhormat EXCO menyatakan ada pengangkutan pesakit COVID-19 ke, terutamanya ke CAC. Jadi, adakah pengusaha-pengusaha seperti teksi atau e-Hailing ni dia perlu buat latihan ataupun berdaftar dengan PAJ untuk tujuan khas sebegini. Sebab kita melihat ambulan sekarang ni dia memang, mungkin dia tak cukup, tapi bila dia terdesak tu kita boleh cari alternatif lain seperti dekat e-Hailing ataupun teksi ataupun pengangkutan awam yang lain. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Penyediaan pengangkutan itu memang memenuhi SOP. Mereka memenuhi peraturan-peraturan yang dikenakan dan kerajaan negeri juga mengadakan satu program iaitu Pengangkutan Teksi. Saya, tapi itu bukan di bawah PAJ lah, di bawah satu NGO. Dan, nampaknya sambutan agak baik dan kita memang mewar-warkan perkhidmatan itu kepada mereka yang mengalami masalah untuk dapat pengangkutan di daerah-daerah. Terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Tiram, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker soalan nombor 9.
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu di tambah, adakah rancangan untuk mendirikan PPV ke setiap kawasan DUN atau Parlimen?
Yang Berhormat Yong Peng, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 10.
Mengapakah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Che Ann Khor, Yong Peng tidak beroperasi sehingga waktu malam?
Yang Berhormat Pekan Nanas, jemput. Pekan Nanas, jemput.
Ha, soalan nombor 11.
Banyak penduduk dijadualkan vaksinasi di PPV yang terletak jauh dari tempat kediaman mereka, walaupun terletak PPV yang terletak berhampiran rumah mereka. Mengapa keadaan yang menyusahkan rakyat sering berlaku dan apakah tindakan penyelesaian?
Yang Berhormat Penawar, jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, soalan saya nombor 12.
Adakah kerajaan negeri bersedia untuk membuka Mini PPV di kawasan luar bandar untuk memudahkan lagi pemberian vaksin kepada rakyat negeri Johor ?
Jemput, YB EXCO. Ada 6 minit lagi. Jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Izinkan saya untuk menjawab soalan-soalan ini secara bersekali.
Yang Berhormat Speaker, pada masa kini terdapat beberapa jenis PPV di negeri Johor seperti PPV Awam, Special PPV khususnya di hospital kerajaan, PPV General Practitioner yang dikendalikan oleh klinik-klinik swasta, PPV Mobile yang dikendalikan oleh Pasukan Kesihatan menerusi program-program Outreach, PPV mega dan integrasi, PPV Industri. Dan, di negeri Johor pada hari ini terdapat sebanyak 241 PPV keseluruhannya daripada semua kategori.
Sesuatu kawasan dipilih sebagai PPV berdasarkan kepada cadangan oleh pihak CITF daerah yang terdiri daripada Pegawai Daerah, Pegawai Kesihatan Daerah dan agensi-agensi di peringkat daerah. Mereka akan mencadangkan lokasi dan jenis PPV berdasarkan keperluan dan populasi setempat ke pihak CITF negeri untuk pertimbangan pembukaan PPV yang baru dan seterusnya cadangan akan dimajukan ke pihak Jawatankuasa Pembukaan PPV CITF Persekutuan bagi persetujuan memulakan pengoperasian PPV. Sebagai contoh PPV Dewan Chee Ann Khor. Ia merupakan sebuah PPV integrasi dan mula beroperasi pada 18 Julai 2021. Kapasiti PPV ini adalah mampu memberi suntikan vaksin sebanyak 2,000 dos sehari. Dan berkaitan dengan isu yang dibangkitkan mengenai masa PPV ini beroperasi, PPV Integrasi masanya ditentukan oleh pihak CITF Persekutuan.
Yang Berhormat Speaker, semasa peringkat awal program PICK, pengagihan vaksin di negeri Johor rendah dan bilangan PPV yang dibuka semasa Fasa 1 hanyalah 14 PPV di dewan besar. Sebaik sahaja permulaan Fasa 2 dengan bilangan penduduk yang tinggi disasarkan, pembukaan PPV mega ditambah bagi menampung kapasiti pelanggan yang lebih ramai. Pengagihan vaksin secara mingguan dan tidak sekata seperti yang sering kali dibangkitkan kadang kala menyebabkan PPV Awam yang lebih rendah kapasiti ditutup bagi memberi laluan kepada perlaksanaan PPV Mega yang lebih licin dan berterusan. Perkara ini, bagi memudahkan tumpuan yang lebih berkesan di satu-satu lokasi di bandar khususnya kawasan yang mempunyai populasi yang tinggi. Walau bagaimanapun, petugas kesihatan mengambil peluang masa tersebut untuk menyediakan PPV bergerak menerusi Program Outreach ke kawasan pedalaman dan kampung-kampung yang jauh dari PPV supaya penduduk di situ terutama yang terlantar dapat turut sama menikmati perkhidmatan PICK di luar bandar. Sebenarnya penutupan PPV tidak menjejaskan temu janji penduduk di PPV
yang berkaitan. Kini dengan pengagihan vaksin yang lebih dan menentu, kita tiada keperluan untuk PPV ditutup dan diharap situasi ini akan terus berkekalan.
Penjadualan vaksinasi penduduk di PPV adalah bergantung kepada temu janji yang diberi melalui aplikasi MySejahtera. Walau bagaimanapun, jika terdapat sebarang masalah seperti jauh dari tempat kediaman, masalah ini boleh dikemukakan dalam helpdesk di aplikasi MySejahtera dan di lokasi PPV yang dikehendaki boleh dikemukakan. Pemberian vaksin COVID-19 kepada penduduk di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau dijalankan secara outreach bagi memudahkan lagi pemberian vaksin kepada rakyat di negeri Johor ini. Outreach ini dilaksanakan oleh pasukan mobile di setiap daerah secara berjadual bagi memastikan program berjalan dengan lancar dan berkesan. PPV outreach dilaksanakan oleh PPV mobile bagi pemberian vaksin kepada penduduk seperti saya katakan tadi, di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat pemberian vaksin, institusi warga emas dan juga penduduk di pulau-pulau. Terima kasih.
Masa dah menunjukkan 10.29, jadi saya tamatkan soalan lisan ini. Sekiranya ada soalan-soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget
Sambungan perbahasan atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan itu disambung sekarang. Saya persilakan, Panti. 10 minit. Jemput.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi. Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Panti merafak sembah, menjunjung kasih dan setinggi tahniah kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas keprihatinan yang ditunjukkan kepada rakyat dari dulu hingga kini. Tahniah juga kepada kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor ke-18 yang saban hari tidak putus-putus memikirkan kaedah untuk kebajikan rakyat khususnya dalam era dan cabaran mendepani wabak COVID-19 pada hari ini.
Terima kasih atas peruntukan tambahan yang diumumkan semalam dan ternyata akan banyak membantu khususnya untuk warga Panti. Tidak lupa kepada barisan kakitangan kerajaan negeri di bawah teraju Yang Berhormat Dato’ Azmi Rohani yang memberikan sepenuhnya bagi memastikan segala dasar dan inisiatif kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan baik sekali. Dan, yang paling utama adalah kepada semua anggota barisan hadapan yang tidak putus-putus berusaha bukan sahaja dengan kudrat dan masa malahan dengan menggadai nyawa sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab serta memastikan akhirnya negeri kita dan negara berupaya membendung wabak COVID-19 ketika ini. Bagi menghargai mereka Panti menyeru agar pihak kerajaan boleh memberi keutamaan kepada pasangan setiap anggota barisan hadapan ini untuk mendapat vaksin lengkap dengan seberapa segera.
Yang Berhormat Speaker, Panti yakin ramai antara kita pada hari ini amat terkesan dengan wabak yang melanda negara dan dunia. Ramai yang kehilangan pekerjaan, punca pendapatan, nilai sosial yang sudah semakin hari semakin lenyap dan yang paling menyedihkan ramai kehilangan rakan-rakan serta saudara mara terdekat. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa mereka walaupun mereka sudah tiada tetapi semangat yang mereka tunjukkan semasa melawan sakit ini wajar kita jadikan pegangan bersama.
Yang Berhormat Speaker, hari ini Panti ingin mulakan dengan menyentuh isu berkaitan pendidikan yang kita tahu akan menyiapkan generasi akan datang untuk mengambil alih dan
menerajui negeri tercinta ini. Kajian Bank Dunia mendapati bahawa penutupan sekolah disebabkan COVID-19 berisiko menyebabkan 72 juta murid sekolah di seluruh dunia berdepan ancaman kemiskinan pembelajaran, yang bermakna mereka tidak boleh membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun.
Kita tahu dengan penutupan sekolah, kerajaan mewujudkan sesi alternatif iaitu secara pengajaran dan pembelajaran di rumah, PdPR secara maya namun merujuk kepada sistem laporan PdPR negeri Johor pada bulan Julai 2021 hanya 51.47% murid mengikuti PdPR secara atas talian ini. Dengan peratusan rendah ini, isu kemiskinan pembelajaran perlu diambil berat oleh pihak kerajaan khususnya bagaimana mengatasi masalah-masalah asas yang dikenal pasti menyebabkan perkara ini antaranya ialah masalah kemudahan peranti itu sendiri, capaian Internet dan pengurusan aset sekolah yang perlu diselesaikan. Terima kasih atas inisiatif sebelum ini iaitu bantuan sumbangan peranti di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 3.0. Ianya satu inisiatif yang baik namun perlu diperluaskan lagi. Maka, Panti ingin mencadangkan beberapa pendekatan yang Panti kira mampu serba sedikit memperbaiki sistem sedia ada.
Pertama, kerajaan negeri perlu mengadakan libat urus dengan syarikat-syarikat telekomunikasi agar bantuan Internet percuma boleh diberikan kepada semua pelajar khususnya yang tidak berkemampuan atau pelajar yang sedang bersedia menghadapi peperiksaan-peperiksaan besar. Bantuan Internet percuma ini kita sedia maklum ada disediakan sekarang di bawah inisiatif kerajaan persekutuan tetapi Panti rasa hanya cukup sekadar untuk komunikasi melalui Whatsapp sahaja. Bagi mengikuti kelas atas talian apa yang disediakan tidak mampu untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik jika bukan percuma pun mungkin bantuan Internet bersubsidi boleh dipertimbangkan.
Kedua, ialah memperluaskan bantuan sumbangan peranti seperti yang dilaksanakan sebelum ini mungkin boleh diperkembangkan dan mewujudkan skim pinjaman peranti sekolah iaitu satu skim yang lebih kurang sama seperti mana skim pinjaman buku teks yang diamalkan ketika ini. Perkara ini boleh dimulakan di negeri Johor bagi melihat keberkesanan perlaksanaannya.
Ketiga, bagi mengatasi masalah peranti ini seperti yang pernah saya cadangkan ialah dengan kerjasama syarikat pengeluar peranti itu sendiri. Saya menyeru kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan bagaimana satu skim pembelian bersubsidi dan secara ansuran dengan kelulusan mudah dapat dilaksanakan.
Selain itu pendekatan keempat yang mungkin boleh difikirkan pelaksanaannya bagaimana kemudahan makmal komputer di sekolah dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar susah dan tidak berkemampuan. Mereka ini walaupun ada kemudahan Internet subsidi atau kemudahan pembelian peranti masih tidak mampu untuk memilikinya. Maka kemudahan makmal komputer sedia ada di sekolah perlu dibuka kepada mereka. Sudah tentu segala SOP perlu dipatuhi bagi menjayakan pendekatan ini. Kini ianya lebih mudah dengan adanya COVID-19, Antigen Detection Kit dengan izin, menggunakan saliva memudahkan pihak sekolah bagi perlaksanaan pembukaan sekolah untuk tujuan tadi atau tujuan pembukaan sekolah itu sendiri kepada semua pelajar.
Yang Berhormat Speaker, isu seterusnya ialah bagaimana kita membangun semula ekonomi negeri waktu COVID-19 ketika ini. Panti yakin penyertaan rakyat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dijangka dapat meningkatkan keyakinan perniagaan, kerancakan pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam negara selain menarik minat pelabur asing.
Tahniah juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas usaha meningkatkan access kepada vaksin untuk rakyat Johor dengan pelbagai sumber dan kaedah. Panti percaya pemerkasaan perancangan usaha serta libat urus pihak berkepentingan menerusi
entiti yang dicadangkan oleh kerajaan sendiri seperti IGAC, JETCO, SIGORY Coast Triangle mampu melonjakkan kembali ekonomi negeri Johor. Tambahan lagi usaha tidak berhenti kerajaan negeri bagi memastikan sempadan dapat dibuka seberapa segera.
Yang Berhormat Speaker, negeri Johor mencatatkan sebanyak 3.5% kadar pengangguran pada tahun 2020. Berlaku juga peningkatan sebanyak 13% graduan menganggur akibat pandemik COVID-19 ini. Panti mencadangkan 4 pendekatan bagi meningkatkan keberhasilan sektor pekerjaan dan keusahawanan.
1. Jabatan Kerja, Jabatan Tenaga Kerja dan Jawatankuasa berkaitan pekerjaan di bawah Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia perlu menjayakan pendekatan lebih komprehensif. Banyak kaedah dari serata dunia yang boleh diambil dan dikemas kini untuk disesuaikan dengan cara di Johor khususnya contoh di United Kingdom wujud di setiap Local Council, premis job centre biasanya di tengah-tengah bandar Council tersebut. Pekerjaan bersifat setempat atau secara sambilan banyak ditawarkan. Kalau kita lihat sekarang selain dari banyak rakyat kehilangan pekerjaan ada juga yang terpaksa bercuti tanpa gaji kerana syarikat tidak mampu meneruskan aktiviti perniagaan atas sebab sekatan semasa wabak ini. Maka pekerjaan bersifat sementara atau sambilan ini amat bersesuaian. Perlu diingat tidak semua mampu atau ada access kepada sistem atas talian khususnya orang yang sangat susah, tidak berkemampuan dan mungkin berada di kawasan-kawasan pedalaman.
2. Program pembangunan setempat seperti penyediaan modal, peralatan dan latihan dengan sasaran golongan petani, nelayan dan PKS perlu dipertingkatkan dan dinaikkan peruntukan daripada RM2 juta pada tahun 2021 kepada satu jumlah yang lebih besar.
Satu minit lagi Yang Berhormat.
Yang Berhormat Speaker, sebelum Panti menamatkan perbahasan pada kali ini, Panti ingin menyuarakan beberapa isu kawasan untuk pertimbangan dan tindakan pihak-pihak berkaitan.
1. Perkara yang timbul pasca banjir khususnya di Panti dapat disegerakan. Panti ambil maklum akan proses yang perlu dilalui tetapi beberapa perkara yang melibatkan keselamatan amatlah tidak wajar jika dibiarkan tanpa tindakan segera. Banjir yang melanda pada awal tahun hingga kini seperti infrastruktur jalan, sungai dan kemudahan lain masih tidak dibaiki.
2. Isu gajah liar, isu gajah liar di sekitar daerah Kota Tinggi khususnya di Panti. Isu ini merupakan isu yang saban kali dibangkitkan bukan sahaja oleh Panti malah oleh rakan-rakan lain. Apa yang Panti mohon adalah campur tangan kerajaan negeri dalam memastikan pelaksanaan sistem pagar elektrik yang telah ditangguhkan beberapa kali sejak 2019 atas pelbagai sebab. Panti yakin usaha ini boleh mengurangkan kemasukan gajah ke kawasan kampung dan mengurangkan kerugian tanaman, kerugian kediaman, hasil kemasukan gajah ini dan ataupun risiko kehilangan nyawa dan sebagainya.
3. Ialah tentang sistem pembetungan dan loji rawatan kumbahan di Bandar Tenggara. Panti berpendapat sistem pembetungan, pembetungan ini perlu dinaik taraf bagi memastikan isu ini tidak berulang. Campur tangan kerajaan di peringkat negeri amatlah Panti harapkan, kawasan Bandar Tenggara melibatkan 5 taman perumahan yang agak luas, saban minggu pasti berlaku insiden tidak diingini hingga berlaku pencemaran bau dan sebagainya. Terlebih dahulu Panti mengucapkan terima kasih kepada pihak MDKT dan KEJORA yang sentiasa membantu untuk melakukan kerja-kerja pembersihan secara berkala.
Sebelum Panti mengakhiri perbahasan, Panti sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua khususnya barisan hadapan yang tanpa henti melakukan yang terbaik, tanpa mereka keadaan pasti akan lebih buruk lagi. Semoga usaha mereka mendapat balasan yang baik di dunia dan akhirat kelak. Insya-Allah. Sekian, wabilahi taufik walhidayah. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada Panti. Seterusnya saya persilakan Johor Lama, jemput.
Bismillahirrahmanirrahim, assalammualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh dan selamat sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, atas peluang yang diberikan.
Terlebih dahulu, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan kasih atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas kesudian Yang Berhormat Speaker, untuk membenarkan saya untuk hadir di dalam Persidangan pada kali ini dan saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat khasnya Kementerian Kesihatan, Dato’ Noh, Speaker sendiri, Jurutulis, yang memastikan keabsahan saya untuk hadir dalam mesyuarat pada hari ini. Sebenarnya Yang Berhormat Tuan Speaker, saya dalam keadaan trauma dan rasa cukup terkejut apabila malam tadi beberapa TV telah menyiarkan dan hari ini banyak surat khabar menyiarkan saya dikuarantin dan dia menimbulkan rasa tak puas hati di kalangan bukan sahaja rakan-rakan saya di sini dan rakan-rakan saya di sebelah sana, sebab semalam kita semua mesra berbual, bersembang, masing-masing pagi tadi terperanjat bila saya hadir dan saban malam tadi ramai pengundi dan keluarga sibuk menelefon saya, tanya keadaan saya, adakah saya positif? Sebab sebelum dari hari itu saya bersama dengan masyarakat.
Ramai yang sayang YB tu, maksudnya tu.
Ramai yang minta saya kekal lagi di DUN Johor Lama tu Tuan Pengerusi. Jadi, risau, kerisauan mereka Tuan Pengerusi. Jadi, alhamdulillah hari ini saya disahkan negatif, test yang kedua semalam pukul 2 diisytiharkan negatif, pukul 3 pagi diisytiharkan negatif, hari ini dicucuk hidung lagi diisytiharkan negatif. Alhamdulillah Tuan Pengerusi. Jadi, Tuan Pengerusi hari ini saya merasa bersyukur pada hari ini saya dapat berucap. Kalau Tuan Pengerusi pernah mendengar satu istilah lama, gajah lalu, ranting tak patah. Tapi hari ini Tuan Pengerusi, di tempat saya gajah lalu habis pokok kelapa sawit musnah Tuan Pengerusi dan dia telah merosakkan beribu-ribu, berekar-ekar Tuan Pengerusi di ladang-ladang kelapa sawit di dalam kawasan saya di Johor Lama.
Tuan Speaker Yang Berhormat bukan mesyuarat Tuan Pengerusi.
Tuan Pengerusi, Tuan Speaker. Jadi, saya nak maklumkan Tuan Speaker, saya rasa agak dukacita dengan peranan yang dimainkan oleh pihak PERHILITAN, yang selama ini ambil langkah sambil lewa walaupun sebelum ini saya dengan Pejabat Daerah dan Puan Pegawai Daerah telah mengadakan VC Meeting antara saya, Pengarah PERHILITAN Johor dan Pengarah, Tuan DO. Kita berbincang berbagai-bagai isu, cara mengatasi tetapi malangnya tak sampai seminggu Pengarah PERHILITAN bertukar dan hari ni tak ada berita langsung soal-soal bagaimana nak mengatasi isu gajah, bagaimana juga yang berbangkit pada DUN Panti.
Saya nak maklumkan Tuan Pengetua, saya nak ambil contoh kawasan-kawasan yang terlibat di kawasan saya di sekeliling Empangan Seluyut, di mana empangan ini telah diberikan kepada RAPID untuk membuat empangan tapi dalam masa yang sama mereka telah memusnahkan habitat gajah di sekeliling kawasan empangan ini. Saya bacakan Tuan Pengetua, Tuan Yang DiPertua...
Speaker, Yang Berhormat.
Tuan Speaker, Lok Heng Timur, keluasan ladang yang terlibat ialah 76 ekar, Lok Heng Barat 277 ekar, FELDA Easter 383 ekar, FELDA Pasak 110 ekar manakala jumlah pokok yang rosak di FELDA Lok Heng Timur 4,564 pokok, di Lok Heng Barat 16,406 pokok, di FELDA Easter 23,400 pokok dan di FELDA Pasak 5,984 pokok. Manakala peneroka-peneroka yang terjejas di FELDA Lok Heng Timur 7 keluarga, di FELDA Long Heng Barat 36 keluarga, di FELDA Easter 46 keluarga dan di FELDA Pasak 28 peneroka.
Tuan Yang DiPertua, Tuan Speaker, jadi Tuan Speaker, FELDA dah memainkan peranan Tuan Speaker, saya dapati pihak FELDA telah memainkan peranan, saya kecewa apakah peranan yang dimainkan oleh PERHILITAN. Saya ambil kira perbelanjaan yang telah dibelanjakan oleh pihak FELDA di Lok Heng Timur, mereka telah membina parit sepanjang 11,000 meter, di Lok Heng Barat pagar elektrik RM165,000.00, Parit Gajah RM130,000.00, di FELDA Easter pagar elektrik RM152,000.00 dan parit gajah RM160,000.00 manakala di FELDA Pasak pagar RM60,000.00 dan parit RM30,000.00, Tuan Yang DiPertua.
Dan Tuan Yang DiPertua, Tuan Speaker, selepas sahaja empangan ini diserahkan kepada RAPID pada 2014, bermulalah gajah-gajah ini berkeliaran dan telah menjadi mangsa seramai 3 orang Tuan Speaker. Tahun 2016, 2017, 2019 telah berlaku kematian akibat gajah menyerang masyarakat. Adakah kita nak tunggu sehingga 2021, satu lagi 2022, 2023 sehingga kita tak terkawal kehidupan gajah ini. Baru-baru lepas Tuan Yang DiPertua, gajah-gajah ini berkeliaran di taman-taman perumahan di kawasan-kawasan kampung, di FELDA Pasak, di Kampung Lukut, di Kampung Bukit Samsu, merosakkan tanaman di sebelah rumah, menimbulkan ketakutan dan kerisauan masyarakat. Jadi, apakah tindakan PERHILITAN pada hari ini, itu persoalan saya Tuan Yang DiPertua, Tuan Speaker. Jadi, saya mencadangkan Tuan Speaker, santuari gajah yang dibina dengan nilai RM8.9 juta apakah kesannya, apakah kegunaan dia kepada masyarakat hanya dibuat kompleks untuk pegawai-pegawai dan kakitangan? Dan saya difahamkan kompleks gajah ini hanya dibina, digunakan untuk membaik pulih gajah, kalau dia degil, kalau dia luka. Adakah itu perbelanjaan yang besar kita gunakan untuk seperti ini, Tuan Speaker? Sedangkan rumput napier yang ditanam begitu luas, masih lagi tak dapat digunakan, buluh dan tebu, pisang masih lagi tidak ditanam, Tuan Speaker. Jadi, saya pada Dewan yang mulia ini saya ingin mencadangkan...
Satu minit lagi Yang Berhormat.
Ya?
Satu minit lagi.
Tuan Speaker. Saya nak mencadangkan supaya pihak RAPID dapat memberikan pampasan kepada semua keluarga-keluarga yang terlibat ini kepada FELDA-FELDA yang rosak ini Tuan Speaker, beri pampasan. Sekarang ini harga sawit tengah tinggi Tuan Speaker. Hari ini rumah depan ini dapat RM5,000.00, RM6,000.00 tetapi kepada mangsa-mangsa gajah ini mereka bukan dapat gaji Tuan Speaker, malah terhutang. Ada yang dipotong elektrik, ada yang dipotong air. Takkan kita nak tengok perkara ini berlaku lagi. Jadi saya mencadangkan, pihak RAPID berilah pampasan yang sewajarnya kerana telah mengambil alih habitat gajah dan menjadikan gajah ini tak ada tempat tinggal yang tetap.
Yang kedua, saya nak mencadangkan supaya PERHILITAN ini diswastakan supaya ada pihak yang betul-betul bertanggungjawab kepada hidupan liar. Kalau kita katakan gajah ini sebagai binatang yang perlu diberikan kehidupan, kenalah jaga, beri makan, carikan tempat tinggal. Jangan dia tinggal bersama dengan kita di kampung, carikan tempat tinggal. Jadi, kalau ada pihak yang menjalankan urusan penjagaan binatang-binatang ini, saya amat yakin kita mempunyai kepakaran. Kalau kita tak ada kepakaran di sini kita boleh import daripada Thailand ataupun India. Jagalah gajah ini, bukannya kita nak bunuh dia tetapi selamatkanlah dia daripada dia merosakkan tanaman dan menjejaskan ekonomi rakyat pada hari ini.
Jadi, itu sahaja Tuan Speaker, saya ucap terima kasih banyak. Jadi inilah harapan daripada peneroka-peneroka kawasan saya supaya inilah sebenarnya yang menjejaskan pendapatan mereka pada hari ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada Johor Lama, mengulas panjang berkenaan dengan gajah tadi. Seterusnya saya persilakan Pasir Raja. Jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia dan salam kemerdekaan. Terlebih dahulu patik mengambil kesempatan untuk menjunjung setinggi kasih atas Titah Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar khas Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Persidangan Keempat Dewan Johor Yang Ke-14 pada 12 Ogos yang lalu. Juga patik mewakili warga Pasir Raja ingin merafak sembah dan menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena ulang tahun hari kelahiran Tuanku yang ke-62 pada 16 Ogos yang lalu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pertama sekali izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi ruang dan peluang kepada Pasir Raja untuk mengambil bahagian di dalam ucapan perbahasan ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seperti yang kita sedia maklum, negara sedang berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19 dan sehingga kini kita masih berusaha untuk menyekat penularan wabak ini. Ditambah dengan kehadiran varian COVID -19 baharu yang lebih mudah berjangkit dan cepat merebak sehingga meragut nyawa membuatkan keadaan menjadi semakin membimbangkan. Saban hari kes kematian dilaporkan terus berlaku dan setakat pada tarikh 22 Ogos 2021, jumlah kes sudah melonjak ke angka 19,807 kes baharu dengan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 14,168 orang. Keadaan ini semakin memberi tekanan hebat kepada sistem kesihatan negara sekali gus menjejaskan ekonomi negara.
Yang Berhormat Tuan Speaker, melalui Pakej Rangsangan Ihsan Johor Tahun 2021 pelbagai bantuan disediakan untuk sama-sama membantu rakyat dan masyarakat yang terkesan dengan pandemik ini. Ribuan terima kasih Pasir Raja ucapkan. Namun di samping usaha memberi vaksin dan sebagainya bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin usaha bagi meneruskan kelangsungan hidup juga harus diambil kira. Justeru itu, Pasir Raja mohon supaya sekiranya JKM telah mengeluarkan bantuan bakul makanan, pihak MAIJ juga diminta turut sama menyampaikan bantuan tunai bagi membeli keperluan lain seperti lampin pakai buang dan susu bagi bayi dan orang dewasa yang berpenyakit kronik.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pemberian vaksin kepada semua rakyat amat menggalakkan. Terima kasih kepada pihak KKM yang bekerja keras tanpa mengira masa, hari, penat lelah mahupun risiko yang dihadapi. Namun, suka Pasir Raja mencadangkan
agar keutamaan penerimaan vaksin harus juga diberikan kepada isteri atau suami para petugas barisan hadapan seperti isteri-isteri Polis, RELA, anggota KKM kerana mereka juga berpotensi besar dalam mendapat jangkitan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk DUN Pasir Raja program vaksin ini giat dijalankan dengan kerjasama dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Daerah Kota Tinggi. Setakat hari ini, hanya tinggal beberapa kawasan sahaja lagi yang masih belum diberikan vaksin melalui Program PPV Outreach dan juga MOVAC.
Yang Berhormat Tuan Speaker, umum mengetahui sektor pelancongan merupakan sektor yang paling terkesan dan terjejas dengan penularan pandemik COVID-19 dan dijangka menjadi sektor yang paling lambat dan mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan. Di dalam Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama yang lalu, menyatakan bahawa kerajaan negeri perlu bekerja keras membangunkan semula ekonomi Johor termasuk membantu peniaga selain menarik pelaburan luar supaya banyak memberi peluang pekerjaan untuk diwujudkan. Kerajaan negeri perlu membuat dasar baharu yang mesra pelabur dengan insentif yang lebih menarik agar pelabur-pelabur tertarik untuk datang ke Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, di dalam usaha kerajaan negeri menjadikan sektor pertanian sebagai di antara sumber hasil terbesar negeri Johor pada masa hadapan dan bagi menyahut Titah Baginda Sultan, Pasir Raja ingin berkongsi pandangan dan cadangan tentang apa yang sedang dilakukan di dalam DUN Pasir Raja. Di dalam keadaan pandemik yang semakin membimbangkan dan pergerakan yang harus mengikut SOP yang telah ditetapkan, pembangunan setempat harus juga diteruskan demi kelangsungan ekonomi setempat. Dan di dalam keadaan yang terbatas ini, Projek Agro Pelancongan dengan 6 Titik Fokus utama untuk semua komuniti telah dirangka oleh pengurusan FELDA Pasir Raja dengan kerjasama Pejabat ADUN Pasir Raja.
Yang Berhormat Tuan Speaker, fokus utama pelaksanaan Projek Agro Pelancongan ini adalah :
1. Industri Kecil dan Sederhana, (IKS). Membangunkan projek peserta iaitu makanan sejuk beku, kerepek, pembuatan kek dan roti dan sebagainya yang melibatkan bilangan peserta seramai 54 orang.
2. Sukan dan rekreasi melibatkan aktiviti ATV, kayak, memanah, club house, berbasikal, flying fox serta renang.
3. Fertigasi dan tanaman kontan. Bagi tanaman kontan, tumpuan diberikan kepada tanaman seperti tebu, jagung, keledek dan ubi kayu dengan penglibatan seramai 15 orang peserta. Bagi fertigasi yang dibantu oleh Jabatan pertanian pula, bilangan peserta sedia ada ialah seramai 70 orang.
4. Homestay dan penginapan agro yang melibatkan 10 peserta.
5. Dusun buah-buahan seperti durian, manggis, langsat, duku dan lain-lain.
6. Ternakan seperti arnab, kelulut, burung walet serta ternakan ikan. Pasir Raja mempunyai 12 kolam ikan yang berteknologi tinggi dalam projek ini.
Kesemua peserta yang terlibat di dalam Projek Agro Pelancongan ini terdiri daripada komuniti setempat seperti JPW, KAF, Belia dan lain-lain.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Pasir Raja sangat komited dengan Projek Agro Pelancongan ini dan ingin menjemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar serta EXCO
Pelancongan, Belia dan Sukan untuk datang melihat sendiri projek ini. Diharapkan Projek Agro Pelancongan ini dapat dilaksanakan dengan baik, semoga dengan pelaksanaan projek ini sedikit sebanyak ianya dapat membantu rakyat dan masyarakat Pasir Raja untuk menjana pendapatan yang terjejas akibat penularan COVID-19 yang kita sendiri tidak tahu bila ianya akan berakhir.
Yang Berhormat Tuan Speaker, di dalam usaha kita untuk membangunkan kawasan terdapat juga beberapa faktor yang harus dititikberatkan. Di sini, Pasir Raja ingin memohon kepada kerajaan negeri untuk membaiki jalan raya yang rosak sepanjang 7 kilometer yang bermula dari jalan utama simpang masuk ke FELDA Sungai Sayong jalan utama ke Projek Agro Pelancongan Pasir Raja.
Yang Berhormat Tuan Speaker, akhir kata Pasir Raja ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9 dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui negara. Tidak lupa juga jutaan terima kasih diucapkan kepada petugas barisan hadapan di atas segala jasa dan pengorbanan bagi menangani penularan wabak COVID-19. Diharapkan apa yang disuarakan Pasir Raja ini mampu memberikan manfaat dan memberikan yang terbaik buat Johor dan juga masyarakat.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada Pasir Raja yang telah menyampaikan ucapannya itu.
Jurutulis Dewan telah diarahkan kuarantin kerana kontak rapat individu yang positif COVID. Jadi, mengikut Jadual Kelapan Fasal 27(A) Bagi Bahagian Kedua, Kebebasan-Kebebasan Dan Kuasa-Kuasa Dewan Negeri, Pegawai Dewan dan Pegawai’, bermakna Jurutulis Dewan Negeri dan sebarang orang yang diisytiharkan oleh Speaker menjadi seorang Pegawai Dewan. Maka, saya dengan itu dengan kuasa yang ada ini, saya mengisytiharkan Cik Hajah Shubanah untuk menjadi Jurutulis. (Dewan bertepuk). Sila ambil tempat. Seterusnya, saya persilakan Pekan Nanas, 10 minit.
Selamat sejahtera Yang Berhormat Tuan Speaker dan rakan-rakan Áhli Dewan sekalian. Pertama sekali Pekan Nanas mengambil ketetapan merafak sembah setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini pada 12 Ogos yang lalu dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-14. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tuan Speaker kerana memberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sejak akhir-akhir ini kes COVID-19 melambung tinggi. Pekan Nanas mendapat banyak rayuan di mana pesakit COVID-19 terpaksa kuarantin di rumah, penuh. Mereka berasa amat risau di mana COVID-19 akan menjangkit ahli keluarga lain apabila mereka diarah kuarantin di rumah.
Di samping itu, terdapat juga segelintir rakyat yang tidak dapat mematuhi arahan kuarantin di rumah walau pun telah memakai gelang. Mereka masih berkeliaran di luar. Dasar kuarantin di rumah tidak dapat memastikan kepatuhan orang awam yang berisiko tinggi dan dikhuatiri akan menyebabkan pandemik COVID-19 bertambah serius. PKRC yang mencukupi dapat mengawal pergerakan pesakit COVID-19 dan kontak rapat. Mereka juga boleh mendapat penjagaan yang lebih rapi di PKRC berbanding dengan kuarantin di rumah dan membuat assessment di Pusat Penilaian COVID (CAC). Disebabkan kekurangan PKRC, setiap hari terdapat pesakit COVID-19 positif dan juga kontak rapat terpaksa beratur panjang di Pusat Penilaian COVID-19. Untuk mengelakkan COVID-19 merebak melalui pesakit COVID-19 dan kontak rapat, setiap pergerakan mereka perlu dikawal dengan ketat. Kumpulan yang berisiko tinggi berkumpul, beratur untuk membuat penilaian. Adakah ia akan
meningkatkan kebarangkalian cross infection? Adakah cara ini bersesuaian? Kerajaan tidak boleh membuka sebarang cara yang memungkinkan COVID-19 berpeluang merebak. Yang Berhormat Tuan Speaker, oleh itu Pekan Nanas menyeru kerajaan menubuhkan PKRC yang mencukupi sedaya upaya. Bilangan PKRC perlu sekurang-kurangnya setiap daerah satu untuk memudahkan pengurusan dan pengawalan pandemik COVID-19. Pekan Nanas faham, memang bukan senang untuk menubuhkan PKRC untuk mengawal keadaan sekarang kerana ia akan melibatkan ruang yang besar dan sumber tenaga yang tinggi. Pekan Nanas bercadang agar kerajaan menggunakan sepenuh, segala kelengkapan kemudahan dan fasiliti yang ada di sekolah berasrama memandangkan keadaan pandemik masih berleluasa dan pembelajaran secara bersemuka adalah tidak sesuai setakat ini. Sekolah berasrama boleh di sanitasi selepas fungsi sebagai pusat kuarantin selesai. Ia merupakan suatu fasiliti sedia ada yang boleh digunakan serta-merta dan berada di merata-rata tempat dan juga menjimatkan kos pentadbiran. Saya juga bercadang, kerajaan untuk menggunakan sumber tenaga yang ada dan mengatur pihak tentera untuk mengawal PKRC mengangkut pesakit COVID-19 dan kontak rapat PKRC serta menjejak kontak rapat. Tindakan yang tersebut akan memastikan pergerakan golongan berisiko tinggi terkawal dan juga meringankan beban pegawai KKM. Untuk memastikan segala usaha memerangi pandemik COVID-19 berjaya, kita tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan lock down yang akan menyebabkan aktiviti ekonomi dan orang awam tersekat. Keputusan lock down tidak semestinya berkesan sekiranya usaha menjejak kontak rapat, membuat saringan dan juga kerja kuarantin golongan berisiko tinggi tidak dikawal secara cepat, ketat dan sistematik. Yang Berhormat Tuan Speaker, kita telah menyaksikan betapa dahsyat gelombang varian Delta yang melanda Lembah Klang sejak akhir-akhir ini. Pakar perubatan dan doktor-doktor amatur juga meramal bahawa varian Delta yang berkesan lebih teruk dan mudah merebak akan merebak ke beberapa negeri lain termasuk negeri Johor. Disebabkan pengambilan vaksin masih rendah, kedatangan Delta ini dijangka mungkin membawa kemudaratan yang lebih serius, berbanding apa yang telah berlaku di Lembah Klang. Apakah persediaan kerajaan Johor untuk menghadapi cabaran ini? Adakah fasiliti kita adalah mencukupi? Rakyat sedia maklum dengan maklumat varian Delta yang memberi kesan yang lebih kuat dan cepat merebak berbanding virus COVID-19 biasa. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat dengan mengumumkan taburan kawasan yang mempunyai kes varian tersebut secara terperinci dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran dalam diri mereka. Pekan Nanas juga faham, pembukaan semula ekonomi adalah suatu perkara yang perlu dijalankan. Tapi, adakah sesuai kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan dine-in pada masa yang kritikal ini? Walaupun orang yang dibenarkan dine-in adalah orang yang telah mengambil vaksin, tetapi pengambilan vaksin bukan seratus peratus immune terhadap virus COVID-19. Khasnya, apabila dine-in, orang tersebut terpaksa menanggalkan mask dan hilang perlindungan melalui mask. Saya amat risau dasar ini akan mengundang risiko perebakan COVID-19 dan berharap kerajaan boleh mengkaji semula. Yang Berhormat Tuan Speaker, menurut kajian yang dibuat Pfizer & Bio&Tech, keberkesanan vaksin akan menurun selepas setengah tahun. Memandangkan sesetengah negara telah merancang vaksin dos ketiga untuk menghadapi cabaran COVID-19, khasnya terdapat ancaman pelbagai varian baru seperti, Delta, Delta Plus dan sebagainya, apakah perancangan untuk menjalankan pemberian vaksin dos ketiga di negara kita? Negara kita memulakan penyuntikan vaksin mulai bulan Februari 2021 sebanyak, banyaknya kepada frontliner khasnya kesihatan mula menerima vaksin pada masa tersebut. Hari ini, pengambilan vaksin untuk frontliner sudah hampir enam bulan. Insiden 21 kes positif COVID-19 yang membabitkan petugas kesihatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, HSA menunjukkan bahawa frontliner dari Jabatan Kesihatan selalu terdedah kepada risiko tinggi walau pun pelbagai tindakan keselamatan telah diambil. Adakah kerajaan telah memberi
priority kepada frontliner untuk menerima vaksin dos ketiga untuk menjamin keselamatan dan kesihatan mereka apabila mereka menjalankan tugas demi negara dan bangsa? Yang Berhormat Puan Speaker, pasukan kesihatan negara kita merupakan benteng yang terpenting dalam usaha membanteras COVID-19. Golongan ini amat memerlukan perlindungan yang mencukupi untuk menjalankan tugas yang berisiko tinggi setiap hari. Adalah amat penting untuk memastikan pasukan keselamatan kita boleh mendapat vaksin dos ketiga secepat mungkin untuk meningkatkan perlindungan mereka apabila mereka menjalani tugas harian mereka. Pekan Nanas bercadang agar peruntukan kerajaan Johor sebanyak RM40 juta untuk pemberian vaksin boleh disalurkan kepada frontliner yang berisiko tinggi di Johor seperti doktor, jururawat dan pegawai kesihatan jika kerajaan persekutuan masih tidak ada sebarang keputusan. Yang Berhormat Tuan Speaker, hari ini kita menghadapi satu peperangan yang dahsyat. Kita berperang dengan virus yang tidak dapat dilihat mata. Sebagai kerajaan, sebagai pemimpin, kita perlu dan kita patut buat apa yang lebih banyak berbanding dengan sekarang. Sebagai Wakil Rakyat, kita selalu bersedia berkhidmat untuk masyarakat, oleh itu saya menyokong usul Mengkibol supaya mesyuarat Dewan Undangan Johor boleh dijalankan secara online supaya kita berpeluang kongsi pandangan dan pendapat...
Pekan Nanas..
Tanpa gangguan..
Pekan Nanas..
Risiko berjangkit COVID-19..
Masa sudah nak tamat.
Ha.. boleh, sudah, sudah nak gulung. Pada masa yang akan datang. Selain itu, pembangkang yang kononnya diiktiraf sebagai strategy partner seharusnya boleh menyertai platform lain seperti Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk menyumbang pandangan dan tenaga waktu pandemik. Janganlah sampai partner strategy ini tidak ada kunci tidak apa, tapi janganlah sampai tiada pintu untuk masuk, pintu pun tiada. Kita panggil dia strategy partner, ini tidak betullah. Kita perlu bersatu padu dan menggembleng semua tenaga untuk menghadapi cabaran COVID-19 pada masa kritikal ini. Apa-apa maklumat, apa-apa yang boleh kita buat, apa yang boleh kita bantu, kita ada bersedia untuk menghulurkan bantuan pada masa kritikal ini. Saya berharap, mulai hari ini kita boleh bersama-sama berbincang mencari langkah untuk negara dan bangsa yang kita cintai ini. Akhir kata, saya berharap, esok kita berpeluang jumpa di Mesyuarat Tindakan Daerah. Sekian, terima kasih.
YB Bentayan, silakan.
Selamat pagi dan salam sejahtera. Bentayan ingin mengambil perhatian untuk membahas usul menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Bentayan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana sudi menyampaikan titah baginda kepada Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Puan Speaker, kes COVID-19 yang pertama di Malaysia telah melanda negara pada 25 hari bulan Januari 2020. Dan kini, satu setengah tahun kemudian, Malaysia nampaknya masih belum dapat memerangi sepenuhnya pandemik COVID-19. Dalam tempoh satu setengah tahun ini juga, kerajaan telah melaksanakan PKP sebanyak tiga kali. Namun, nampaknya masih tiada lagi tanda-tanda yang menunjukkan keadaan akan menjadi
bertambah baik. Adakah ini menunjukkan bahawa segala tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah tidak berkesan? Yang Berhormat Puan Speaker, pada hari ini Bentayan ingin mengambil kesempatan untuk menarik perhatian Dewan yang mulia ini, bahawa Johor Utara telah menunjukkan kes kematian yang tinggi sejak dua bulan yang lepas. Keadaan wabak COVID-19 telah menjadi semakin tenat di daerah-daerah di utara Johor dengan bilangan nyawa yang terkorban semakin meningkat dengan mendadak. Sepanjang bulan Julai yang lalu, kes kematian di daerah Muar, Tangkak dan Segamat adalah berjumlah 168 orang. Di mana, 106 kes daripada daerah Muar sahaja. Kini, Muar merupakan daerah tertinggi dari segi kadar kematian akibat COVID-19. Trend peningkatan yang mendadak ini amat membimbangkan. Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Johor, kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Johor Utara sehingga bulan Mei 2021 masih lagi pada tahap yang rendah dan terkawal. Namun daripada Mei hingga Julai, trend kematian meningkat dengan begitu mendadak dengan 173 kes kematian di Muar, 107 kes di Tangkak dan 40 kes di Segamat. Pada bulan Mei dan Jun yang lalu, bilangan kes kematian COVID-19, di Muar masing-masing mencatat angka sebanyak 19 orang dan 46 orang. Ini bermakna dalam tempoh tiga bulan, purata kes kematian sehari telah meningkat daripada 0.6 kes sehingga 1.5 kes pada bulan Jun, 3.4 kes pada bulan Julai dan seterus mencecah 4.4 kes pada 15 hari pertama bulan Ogos. Manakala rekod tertinggi pula dicatatkan pada 6 hari bulan Ogos dengan 11 kes kematian sehari. Yang Berhormat Puan Speaker, persoalannya, mengapa bilangan dan kadar kematian begitu tinggi di kawasan Johor Utara khususnya daerah Muar sejak bulan Jun 2021? Adakah terdapat varian baru antara kluster-kluster jangkitan yang melibatkan kilang di kawasan ini, atau pun masalah kekurangan doktor dan bekalan ubat-ubatan mengakibatkan pesakit lambat menerima rawatan dan menyebabkan nyawa tidak dapat diselamatkan? Yang Berhormat Puan Speaker, kami percaya bahawa virus yang telah bermutasi seperti virus Delta ini sudah pun berada dalam kalangan komuniti. Varian Delta menyebabkan kadar jangkitan virus menjadi lebih cepat, agresif dan kurang menunjukkan respons terhadap rawatan yang diterima. Jadi saya meminta pihak kerajaan menyemak semula keadaan daerah utara Johor dan mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum bilangan kes wabak COVID-19 di negeri Johor menjadi seperti negeri Selangor.
Yang Berhormat Puan Speaker, vaksin adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk keluar daripada peperangan menentang COVID-19 di negara ini. Sehubungan dengan ini, kita perlu mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin di negeri Johor. Jadi negeri Johor perlu mensasarkan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober. Maka angka minimum untuk jumlah suntikan dos vaksin pada bulan Ogos dan September adalah sekurang-kurangnya 4 juta dos iaitu 2 juta dos setiap bulan.
Yang Berhormat Puan Speaker, pada tahun lepas negeri Johor telah menyumbang sebanyak 9.5% daripada jumlah keseluruhan KDNK negara. Manakala populasi negeri Johor merangkumi 11.6% daripada populasi negara. Dan Johor menduduki tempat ketiga tertinggi dari segi angka kes positif COVID-19. Tapi malangnya kadar vaksinasi populasi dewasa negeri Johor berada di tempat kedua rendah di seluruh negara. Maka kerajaan negeri Johor perlu berunding dengan kerajaan persekutuan supaya bekalan vaksin ke negeri Johor setaraf dengan populasi dan keadaan pandemik COVID-19 yang kita alami sekarang. Sehubungan dengan ini, itu, kerajaan pusat juga harus menjaga prinsip keturasan dan sentiasa memberikan penjelasan kepada orang ramai mengenai kaedah edaran dan agihan mengikut jenis vaksin. Termasuk program PIKAS, supaya orang ramai dapat memantau perkembangan program vaksinasi ini. Bentayan juga mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas bekalan vaksin peringkat negeri ditubuhkan dan ahli-ahlinya turut merangkumi ADUN-ADUN pembangkang untuk membincang masalah dan memantau perkembangan program vaksinasi di negeri Johor.
Yang Berhormat Puan Speaker, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP telah memberi impak kepada PKS. Terutamanya usahawan mikro yang dijangka akan gulung tikar jika tempoh PKP dilanjutkan lagi untuk tempoh yang lebih lama. Berdasarkan kajian selidik yang dilakukan oleh SME Corporation Malaysia didapati 81% daripada responden yang mengambil bahagian telah memberi maklum balas yang mana aliran tunai mereka hanya cukup untuk meneruskan operasi jika keadaan berlarutan kurang dari 3 bulan dan kurang dari 1% sahaja yang mampu bertahan lebih dari setahun. Ini menunjukkan bahawa sekira PPN Fasa 1 masih berterusan majoriti usahawan termasuk usahawan mikro tidak akan dapat terus beroperasi, mereka terpaksa gulung tikar dan ini akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran juga.
Yang Berhormat Puan Speaker, di samping mengawal pandemik COVID-19 dan ekonomi negara pihak kerajaan juga perlu memikirkan cara yang membantu usahawan PKS ini. Walaupun kerajaan telah membenarkan semua aktiviti tidak perlu dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian beroperasi bermula 16 Ogos 2021 di negeri Johor. Namun kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja. Tetapi kadar vaksinasi lengkap bagi pekerja sektor-sektor tersebut, sektor-sektor tidak perlu masih rendah. Maka kerajaan harus membuat penambah baik dalam program PIKAS supaya bilangan vaksin yang diberikan...
YB Bentayan sila gulung.
Untuk mempercepatkan kadar vaksinasi. Di samping itu, ada 11 kemudahan sektor perdagangan dan pengedaran telah dibenarkan beroperasi dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap berkuat kuasa pada 21 Ogos 2021 di negeri Johor. Tapi, masih banyak kemudahan yang tidak dibenarkan beroperasi, kemudahan-kemudahan lain sebenarnya boleh dibenarkan beroperasi sekira pekerja-pekerja mereka telah mematuhi vaksinasi lengkap dan tidak perlu menunggu sehingga PPN Fasa ke-2 dan seterusnya.
Yang Berhormat Puan Speaker, tindakan mewajibkan setiap pekerja mengambil ujian RTK Antigen ke atas pekerja setiap minggu, setiap 2 minggu bagi sektor pembuatan memang akan menambahkan kos operasi. Jadi, kerajaan harus menyelaraskan Kit Ujian Kendiri COVID-19 sebagai barangan harga terkawal, atau memberi subsidi supaya meringankan bebanan kos operasi sementara ini. Sektor PKS...
Sila gulung, masa sudah tamat.
Ada sikit lagi. Sektor PKS telah menyumbang 40% kepada KDNK negara setahun dan bilangan pekerjanya membabitkan 7.5 juta atau lebih 50%. Jadi, impaknya kepada ekonomi negara adalah untuk jangka masa panjang. Jadi, kerajaan negeri Johor harus membantu pengusaha PKS ini menjadikan satu alternatif baharu.
Yang Berhormat Puan Speaker, Bentayan sangat memahami bahawa salah satu kluster yang terbanyak adalah punca daripada industri pembuatan. Jadi, pihak penguat kuasa sering menjalankan operasi di kilang-kilang untuk memastikan SOP sentiasa dipatuhi. Tapi kami menerima maklum balas daripada pengusaha-pengusaha yang berkenaan tindakan penguat kuasa yang agak ketat dan mereka juga sering di saman serta-merta tanpa diberi penerangan akan kaedah yang sepatutnya, dan keadaan pandemik yang terus sekarang pengusaha-pengusaha sangat terkesan. Bentayan mencadangkan bahawa sekiranya kesalahan yang dilakukan adalah buat kali pertama, pengusaha ini harus diberikan penerangan ataupun amaran. Bentayan sangat menyokong sekira hukuman yang berat ini diberi jika kesalahan sama sering berulang.
Bentayan, masa sudah tamat.
Ok. Yang Berhormat Puan Speaker, untuk menangani pandemik COVID-19, kami bersedia mengetepikan segala fahaman politik dan bekerjasama dengan kerajaan. Sekian, terima kasih.
Jemput, Yang Berhormat Bukit Naning.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberi ruang untuk Bukit Naning mengambil bahagian dalam sesi perbahasan menjunjung titah Tuanku. Bukit Naning merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Yang Berhormat Puan Speaker, dalam keadaan kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 pada hari ini, apakah indikator yang kita ambil dalam menetapkan penetapan SOP? Ramai rakyat keliru dengan SOP dari kerajaan hari ini. Kalau kita lihat Yang Berhormat Puan Speaker, data dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor pada bulan Jun 2021 mereka yang dijangkiti positif COVID-19 harian adalah dalam lingkungan 600 lebih sehari. Mantan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin telah menyatakan bahawa Johor berada dalam Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lockdown seawal bulan Jun 2021. Maka SOP ataupun Prosedur Operasi Standard diperketatkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri Johor. Dine-in tidak dibenarkan, hanya bungkus makanan dan di bawa pulang ke rumah. Aktiviti riadah, mendaki gunung, berkelah, bersuka tidak dibenarkan. Malah, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut, pasar tani, pasar pagi, pasar awam, pasar malam tidak dibenarkan beroperasi. Ini data bulan Jun 2021 Puan Speaker.
Pada hari ini Puan Speaker, mereka yang dijangkiti positif COVID-19 harian di negeri Johor adalah dalam lingkungan 1,300 ke atas. Semalam juga kita mencatatkan 1,391 kes positif harian, dan pernah sehingga 1,700 sehari. Malah, kalau kita lihat melalui indikator jangkitan harian mengikut mukim-mukim di seluruh negeri Johor, hampir semua mukim-mukim di negeri Johor berwarna merah Yang Berhormat Puan Speaker. Maksud warna merah adalah orang yang dijangkiti lebih 41 orang ke atas di mukim tersebut. Namun di Johor, masih lagi dalam Fasa 1, Perintah Kawalan Pergerakan, lockdown Pelan Pemulihan Negara. Soalnya, SOP pula dilonggarkan, dine-in dibenarkan dengan syarat mereka telah lengkap vaksin namun, pasangan yang telah lengkap vaksin dua dos boleh membawa anak berumur 17 tahun ke bawah yang belum ada sejarah vaksin. Pasar malam dibuka, pasar pagi, pasar tani boleh beroperasi, begitu juga dengan kedai cuci kereta, kedai gunting rambut boleh di buka, aktiviti riadah mendaki, berkelah, berbasikal, memancing dan bersukan juga dibenarkan. Bermain badminton boleh Yang Berhormat Puan Speaker, tapi single, double tak boleh, ya.
Yang Berhormat Puan Speaker, kalau ikutkan semalam Semerah telah memberitahu kepada kita bahawa Johor belum mencapai vaksin lengkap 50% lagi, baru di bawah kadar 36%. Waktu 600 positif harian kita tutup semua, tapi apabila waktu 1,300 ke atas harian positif, kita buka semua. Jadi, apakah indikator yang dibenarkan untuk memandu SOP ini supaya lebih jelas Yang Berhormat Puan Speaker? Itu yang pertama. Yang keduanya Puan Speaker, Bukit Naning ingin membangkitkan isu hasil pertanian yang tidak berjaya di pasarkan. Di Bukit Naning Yang Berhormat Puan Speaker, hampir 60% masyarakatnya bergantung dengan pertanian. Petani, pekebun kecil ini kebanyakan bergantung kepada hasil tanaman nanas, namun dalam waktu pandemik COVID-19 ini nanas tidak dapat dipasarkan. Ramai pengusaha nanas mengalami kerugian bukan sahaja hilang pendapatan, tetapi menanggung beban. Modal awal kos benih, kos racun, kos baja, kos merumput dan lain-lain lagi.
Yang Berhormat Puan Speaker, ada pengusaha tanaman nanas menanam lebih 30,000 nanas, lalu dibiarkan membusuk di ladang nanas. Ini kerana tiada peraih yang mahu
mengambil nanas untuk dipasarkan dan oleh kerana kekangan PKP dan COVID-19 ditambah pula dengan musim durian baru-baru ini Yang Berhormat Puan Speaker. Durian ini buah kayangan Yang Berhormat Puan Speaker. Sedap sehingga mengganggu pemasaran nanas. Dalam masa yang sama durian ini kebal PKP dan COVID-19 Yang Berhormat Puan Speaker, sampai ada yang boleh buat berkenduri durian dalam musim PKP. Jenis nanas yang terkesan adalah nanas Morris yang selalu digunakan untuk kenduri kahwin dan kenduri-kendara. Bila waktu COVID, PKP maka tiada kenduri kahwin dan tiada kenduri kendara maka berlakulah longgokan hasil. Saya mengharapkan supaya Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, saya fikir Pengerusi Lembaga Nanas ada di sini tapi tidak ada mungkin sibuk, mana tahu esok naik pangkat jadi Menteri.
YB sedang membantu promote. Boleh belajar dengan Mengkibol atau Pekan Nanas.
Jadi saya mengharapkan supaya LPNM strukturkan kembali pemberian subsidi benih nanas. Waktu tidak boleh jangka seperti ketika ini untuk lebih beralih arah, beralih arah kepada jenis yang tiada masalah pemasaran nanas DMU. Saya rasa masalah longgokan nanas ini bukan hanya di Bukit Naning sahaja, saya lihat sahabat saya Sungai Balang juga membeli nanas dari pengusaha tanaman nanas di kawasan Sungai Balang untuk disumbangkan kepada masyarakat demi ingin membantu pengusaha nanas ini bangkit kembali. Saya juga berbuat demikian Yang Berhormat Tuan Speaker, demi untuk membantu pengusaha nanas tapi apakan daya saya, nak membantu semua saya tidak mampu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Bukit Pasir yang turut membantu membeli nanas daripada perusahaan pengusaha tanaman nanas di kawasan Bukit Naning untuk disumbangkan di kawasan DUN Bukit Pasir. Terima kasih Yang Berhormat. Saya juga ingin memohon supaya pengusaha tanaman nanas sewaktu pandemik COVID-19 ini dibela dan dibantu Yang Berhormat Tuan Speaker.
Seterusnya, sepuluh minit hampir ke penghujung dan di waktu kecederaan ini saya membangkitkan, ingin membangkitkan isu talian Internet di kawasan pedalaman. Waktu PKP sesi persekolahan bersemuka tidak dapat dijalankan. Kerajaan melaksanakan PdPR guru dan murid menggunakan kaedah belajar dalam talian. Ibu bapa berkorban berkongsi telefon pintar dengan anak-anak malah ada yang turut meluangkan masa membantu mengajar anak-anak di rumah apabila anak-anak kurang faham dalam pembelajaran. Ramai ibu bapa mengadu menyatakan stress Yang Berhormat Tuan Speaker, apa ada juga yang dah jadi tarzan dekat rumah. Yalah apa tidaknya biasanya semua anak-anak kita serahkan kepada guru-guru di sekolah untuk mengajar tapi bila di rumah itu ibu bapa juga turut mengajar. Walau bagaimanapun, ia bukan sahaja malah stress melibatkan mereka mengajar tapi ianya juga stress apabila talian Internet tidak ada. Masalah talian Internet ini biasa kita dengar dalam Dewan ini Yang Berhormat Tuan Speaker, mungkin dalam rumah itu tidak ada talian, dia berpusing-pusing dia keluar ke rumah baru ada talian. Jadi masalah ini telah banyak kali dibangkitkan oleh Wakil-Wakil Rakyat dalam Dewan ini Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya mengharapkan supaya masalah ini ada jalan penyelesaiannya.
Jadi akhirnya, akhirnya Yang Berhormat Tuan Speaker, Bukit Naning bersetuju dengan Yang Berhormat Sri Medan dalam keadaan luar biasa pada hari ini yang tak pernah terjadi dalam sejarah, kita perlu menginsafi diri ramai yang susah, ramai yang perlu dibantu. Kalau kita lihat pada hari ini ramai yang kehilangan keluarga, ibu bapa, ada yang anak-anak kehilangan ibu bapa menjadi anak yatim Yang Berhormat Puan Speaker. Kalau semalam kita dengar Parit Yaani kehilangan abang tercinta dan Keadilan juga, Keadilan Negeri Johor juga kehilangan sahabat antara Allahyarham Nazri Ismail, mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor yang telah meninggal dunia. Ianya bukan mudah Yang Berhormat Puan Speaker. Jadi ramai yang gulung tikar dalam perniagaan, ramai juga yang hilang pekerjaan, hilang pendapatan. Jadi saya menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor atas pemberian peruntukan tambahan kepada semua ADUN dan penyelaras sebanyak RM150,000.00. Semoga kerajaan pada hari ini tidak tahu saya nak sebut kerajaan apa yang ada pada hari ini.
Masa sudah tamat. Jadi sila gulung.
Kerajaan Perikatan Nasional ke, kerajaan Barisan Nasional saya tak tahu nak sebut. Tapi apa pun nama, namanya Yang Berhormat Puan Speaker, saya mengharapkan supaya kita mengenepikan dahulu masalah politik yang membelenggu tanah air kita dan fokus untuk menyelesaikan masalah COVID dan juga ekonomi. Jadi itu sahaja daripada Bukit Naning Yang Berhormat Puan Speaker. Sekian wabilahi taufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Jemput Yang Berhormat Permas.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah dan kurnianya pada pagi ini kita dapat bersama-sama bersidang dalam Dewan yang mulia ini. Permas menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim agar Penggal Persidangan Keempat akan menjadi persidangan yang membuatkan hasil serta menjamin kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini. Permas juga menzahirkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas segala peringatan serta nasihat yang diberikan bagi menjaga kemakmuran kerajaan negeri Johor.
Yang Berhormat Puan Speaker, sebagai ADUN yang berkhidmat dalam di bawah pemerintahan negeri Johor, Permas mengangkat segala peringatan serta nasihat yang dititahkan agar amanah yang diberi serta kepercayaan yang disandarkan oleh rakyat terus didakap erat demi memastikan kemakmuran negeri Johor. Sebagai mana yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan dengan mengutamakan kepentingan rakyat. Pemimpin usahlah mementingkan diri sendiri sehingga mengganggu gugat kestabilan politik. Maka perkara yang membawa kepada kepentingan parti dan peribadi yang sempit haruslah dihentikan.
Yang Berhormat Puan Speaker, di kesempatan ini Permas ingin menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan, frontliner, NGO serta seluruh rakyat negeri ini yang berkorban jiwa dan raga kerana membantu menangani krisis pandemik wabak COVID-19. Permas juga ingin menzahirkan rasa salam takzim kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat jangkitan COVID-19. Tidak lupa juga ucapan salam takziah kepada frontliner-frontliner yang terkorban akibat jangkitan wabak ini semasa mereka sedang bertugas.
Yang Berhormat Puan Speaker, izinkan Permas menyampaikan serangkap pantun. Asyik melompat macam kera, menyalak sumbang entah kenapa, mandat rakyat disuruh bekerja, sibukkan pangkat gila kuasa
Yang Berhormat Puan Speaker, Permas tersentuh dengan keadaan kemelut politik yang melanda di negeri ini dengan keadaan rakyat yang susah. Ada yang hilang sumber pendapatan, ada yang merempat kerana tidak mampu membayar sewa rumah. Ada yang kelaparan dan ada juga yang sanggup untuk membunuh diri kerana tidak mampu menanggung segala hutang-hutang dan bebanan kehidupan harian. Yang Berhormat Puan Speaker, seharusnya kita sebagai pemimpin perlu bersama-sama dalam membantu menyelesaikan kemelut yang melanda rakyat ketika ini. Hentikanlah seketika perbezaan politik kerana kemelut politik bukan menjadi vaksin dalam menyelesaikan masalah-masalah yang melanda negeri ini. Ingat kita masih belum menang. Kita masih belum merdeka dalam menangani wabak ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, rakyat sudah bosan, kecewa, marah melihat gelagat ahli politik yang seolah-olah lebih mengutamakan kuasa dan kedudukan daripada kepentingan rakyat bergantung harap kepada kebijaksanaan pemimpin mereka. Oleh hal yang demikian, kemelut politik yang berlaku akan menzahirkan kebimbangan dan keresahan rakyat terutama di ketika ini yang semuanya dalam keadaan yang kesempitan. Yang Berhormat Puan Speaker, Permas menyeru seluruh Dewan Negeri Johor untuk bersama-sama melaksanakan amanah yang diberikan sebaik-baiknya. Permas ingin memetik sabda Rasulullah SAW, “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin”. Hadis Riwayat Muslim.
Yang Berhormat Puan Speaker, Permas ingin menyentuh berkenaan kadar pemberian vaksin di negeri Johor. Kadar peratusan pendaftaran vaksin adalah di tahap yang memberangsangkan namun tidak dilihat pada kadar yang telah menerima vaksin masih belum mencapai tahap populasi rakyat di negeri ini. Yang Berhormat Puan Speaker, Permas sering mendengar rintihan dari rakyat yang mereka masih ternanti-nanti untuk mendapatkan vaksin. Kita perlu ambil contoh di negeri Sarawak. Bagaimana mereka menguruskan pemberian vaksin kepada rakyatnya sehingga setiap pelosok pedalaman dan didiami rakyatnya diberikan vaksin walaupun menghadapi kesukaran dalam pengangkutan.
Seterusnya Permas ingin menyentuh berkenaan dengan pengurusan PKRC di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, dukacita untuk dikhabarkan pengurusan PKRC di Stadium Pasir Gudang berada dalam keadaan yang membimbangkan. Ini bukan satu kenyataan yang tidak berasas. Permas hadir sendiri melihat serta meninjau kawasan, Permas amat simpati pesakit-pesakit yang menjalani ujian penilaian COVID di sana. Mereka terpaksa menunggu terlalu lama sehingga ada yang sanggup bermalam di dalam kereta semata-mata untuk beratur menunggu giliran. Permas melihat perkara ini dengan serius dan perlu ditangani dengan segera.
Yang Berhormat Puan Speaker, Permas ingin mengutarakan beberapa perkara berkenaan isu berbangkit yang menjadikan permasalahan semasa. Isu pertama berkenaan dengan masalah banjir yang sering melanda beberapa kawasan di DUN Permas akibat hujan lebat. Di kala rakyat kesusahan menghadapi liku-liku kesengsaraan akibat COVID-19 ditimpa pula dengan bencana kilat bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga. Yang Berhormat Puan Speaker, Permas ingin bertanya terutama berkenaan dengan masalah banjir kilat di dalam jajahan Bandaraya Pasir Gudang, MBPG. Apakah tindakan pihak yang berkenaan dalam menangani isu ini. Adakah cukup sekadar bersiap sedia dengan menyediakan pusat pemindahan banjir?
Yang Berhormat Puan Speaker, atas kelalaian pihak yang berkenaan dalam melaksanakan perancangan yang tidak teliti, rakyat mendapat duka lara berganda. Perkara ini dilihat mendatangkan masalah mangsa banjir terutama dalam keadaan mereka hilang punca pendapatan. Banyak harta benda mereka yang rosak dan ini menyebabkan penduduk mengalami kerugian setiap tahun. Bilakah masalah ini, berlarutan.
Yang Berhormat Puan Speaker, isu berbangkit seterusnya Permas ingin menyentuh berkenaan jalan raya di Lebuh raya Pasir Gudang yang kerap kali berlubang. Perkara ini bukanlah satu yang asing bagi rakyat setempat. Terdapat beberapa siri kemalangan maut yang sering berlaku. Sebagai peringatan pada November tahun lalu, seorang ibu tunggal yang meninggalkan tiga anak setelah maut kemalangan di Lebuh raya Pasir Gudang kerana motosikal di boncengnya melanggar lubang dan menyebabkan beliau cedera parah di muka serta lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
Yang Berhormat Puan Speaker, Permas juga berharap agar pihak yang berkenaan membuat pemantauan dan pemeriksaan berkala supaya kejadian meragut nyawa rakyat diatasi. Jangan bazirkan wang rakyat dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak sempurna.
Puan Speaker, seperti yang diketahui umum bencana toksik Sungai Kim-Kim yang pernah melanda Pasir Gudang telah membuka mata dan minda kepada masyarakat tentang kepentingannya dan keutamaan penjagaan pemuliharaan alam sekitar di negeri Johor. Oleh yang demikian, Permas..
YB Permas, tinggal seminit lagi.
Puan Speaker, bagi Permas menghabiskan ucapan ini, terima kasih. Oleh yang demikian, Permas berharap pihak Jabatan Alam Sekitar sentiasa peka dengan keadaan semasa sungai-sungai di Pasir Gudang khususnya agar peristiwa hitam ini tidak berulang. Pemantauan oleh Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu, mengenal pasti sektor-sektor perkilangan yang membuang sisa di dalam sungai yang berdekatan agar mengambil tindakan yang sewajarnya. Permas juga berharap agar Pihak Berkuasa Tempatan dapat mengesan kilang-kilang haram yang beroperasi di sekitar kawasan Pasir Gudang.
Puan Speaker, justeru itu Permas mencadangkan agar Perbadanan Alam Sekitar Negeri Johor dapat ditubuhkan demi untuk merealisasikan impian rakyat Johor untuk menikmati alam sekitar yang lebih sempurna. Diharapkan pihak kerajaan negeri Johor dapat menyokong dalam pelaksanaan ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, di kesempatan ini Permas selaku Pengerusi KEJORA ingin memaklumkan bahawa bulan Julai yang lalu, pihak Lembaga Kemajuan Johor Tengara (KEJORA) telah menyumbang sebanyak RM500,000.00 kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam menghadapi isu pandemik COVID-19 ini. KEJORA berharap dengan sumbangan ini dapat membantu memanfaatkan kepada rakyat negeri Johor. Selain itu, KEJORA bertanggungjawab dalam Misi Bencana Mangsa Ribut di Tanjung Sedili tempoh hari. KEJORA telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.3 juta bagi kerja-kerja baik pulih 100 buah rumah yang rosak dalam kejadian tersebut. Ini menunjukkan KEJORA prihatin, peka membantu rakyat di wilayahnya. Puan Speaker..
Sila gulung..
KEJORA juga..
Sila gulung.
Akan terus memajukan serta membangun kawasan luar bandar bagi merancakkan perkembangan ekonomi negeri Johor. KEJORA sentiasa berusaha untuk membantu mencari peluang-peluang pelaburan luar bandar meneraju ekonomi di kawasan KEJORA. Oleh itu, diharap kerajaan negeri Johor dapat memperluaskan lagi kawasan luar bandar untuk ditadbir urus oleh KEJORA.
Permas amat berterima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin atas kesudian beliau menyumbangkan dana peruntukan berjumlah sebanyak RM3 juta bagi membina masjid di Bandar Penawar. Kos pembinaan masjid itu dianggarkan sebanyak RM9 juta. Kos pembinaan masjid itu telah mendapat perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku mencadangkan agar masjid tersebut dinamakan Masjid Sultan Ismail. Oleh yang demikian..
Sila gulung, masa sudah tamat.
Dua minit. Permas berharap, pihak EXCO Hal Ehwal Agama, Majlis Agama Islam Negeri Johor serta Pejabat Tanah Kota Tinggi melihat dan meneliti proses kelulusan ini agar pembinaan masjid ini dapat disegerakan demi menjamin kesejahteraan rakyat negeri Johor. Harap YB EXCO mengambil berat tentang perkara ini supaya disegerakan pembinaan Masjid Sultan Ismail dilaksanakan.
Yang Berhormat Puan Speaker, di kesempatan ini Permas mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Hasni bin Mohammad kerana telah memberikan peruntukan sebanyak RM150,000.00 kepada seluruh Wakil Rakyat sama ada dari kerajaan mahu pun pembangkang. Permas cukup terharu dengan keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana denyut jantung nadi dapat dirasakan kesusahan Wakil Rakyat dalam membantu menghadapi bebanan rakyat ketika ini. Semoga Yang Amat Berhormat Menteri Besar terus beristiqamah dalam pentadbiran negerinya. Bagi dua orang kat.. ini
Boleh, nanti semua..
Gunung Jerai terus...
ADUN.. Sudah, dua minit lagi, dua minit lagi.
Gunung Jerai...
Sampai bila, kita boleh tamat?
Siapa sangka dilanda bencana,mengapa sanggup berpaling tadah,
YB, sila...
Banyak rakyat..
Sila tamatkan, perbahasan..
Ok, pada Allah kita berserah. Yang baik datang dariNya. Segala kekurangan datang dari Permas sendiri. Semoga rakyat di negeri ini dihindari dari segala wabak bencana dan penyakit. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Puan Speaker.
Jemput, Yang Berhormat Buluh Kasap.
Bismillahirrahmanirrahim. (Berselawat). Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh. Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, patik merafakkan sembah dengan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas ucapan dan perasmian semasa sidang Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-14.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya juga merakamkan ucapan terima kasih kerana Buluh Kasap diberikan ruang dan peluang mengambil bahagian dalam perbahasan terhadap rundingan menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Dan, dalam masa sesingkat 10 minit ini saya cuba untuk menyatakan secara ringkas mesej dan perkara-perkara yang difikirkan wajar untuk diutarakan di Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, di awal bicara ini mewakili penduduk dan pengundi Buluh Kasap, saya ingin menyampaikan rasa bangga dan berterima kasih atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kepada masalah rakyat di saat mereka terkesan dan terhimpit kerana pandemik COVID-19. Dalam tempoh hampir dua tahun ini, rakyat Johor sangat diberi perhatian terutama dari segi keperluan-keperluan dan kebajikan. Buktinya, jarang sekali kita mendengar sebarang rungutan dan suara-surat sumbang termasuk complaint-complaint dari rakyat Johor berkaitan bantuan-bantuan bekalan makanan dan sebagainya. Cuma, yang mungkin kedengaran adalah berkaitan beberapa proses dan
prosedur yang sesuatu permohonan dan bantuan termasuk dokumentasi yang agak menyulitkan pemohon yang boleh ditambah baik dari masa ke semasa. Termasuk mungkin boleh mengurangkan kekerapan mengisi borang dan sebagainya.
Dalam tempoh dua tahun ini Puan Speaker,lebih RM500 juta atau RM0.5 bilion telah dan sedang disalurkan kerajaan Johor pada rakyat Johor. Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 1.0, 2.0 dan 3.0 telah dan sedang dinikmati oleh hampir seluruh lapisan rakyat Johor. Jumlah besar ini sebagai bukti bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sangat prihatin dan memahami tekanan dan himpitan kehidupan rakyat waktu ini. Walau bagaimanapun, apa yang terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor ini, rata-rata adalah bantuan yang berbentuk One-Off yang membantu rakyat di waktu dan ketika ini sahaja. Dalam masa negeri telah berusaha mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat, kerajaan negeri seharusnya bersiap dengan pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang untuk membantu rakyat termasuk memacu semula ekonomi Johor.
Untuk itu, Yang Berhormat Puan Speaker, bolehkah Dewan yang mulia ini dimaklumkan perancangan-perancangan kerajaan untuk membantu peniaga-peniaga kecil di masa akan datang? Waktu ini, peniaga-peniaga kecil memang mendapat pelbagai bantuan kerajaan dan bantuan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor. Ia termasuk juga sektor-sektor lain yang rasanya memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan untuk menggerakkan semula perniagaan mereka. Maksud saya, apa pula perancangan untuk jangka pendek dan jangka panjang kerajaan untuk bantu rakyat Johor bagi mengembangkan semula perniagaan pasca COVID-19? Begitu juga, perancangan-perancangan jangka panjang kerajaan untuk membantu rakyat selepas pandemik COVID-19 ini mampu kita tangani.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya juga ingin menyentuh berkaitan capaian Internet dan bantuan alat peranti kepada pelajar-pelajar sekolah. Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Johor kerana mengambil tindakan menyalurkan alat peranti kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri Johor. Mengikut jawapan lisan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat EXCO pagi tadi, daripada 8,000 alat peranti melibatkan 283 buah sekolah, daerah Segamat akan menerima 700 buah melibatkan 25 buah sekolah. Harapan kami, pihak Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memilih sekolah-sekolah yang sesuai dan pentadbiran sekolah pula akan memilih pelajar-pelajar yang cukup layak untuk menerima peranti ini.
Berkaitan capaian Internet pula Puan Speaker, seperti yang telah saya bangkitkan dalam sidang Dewan yang lalu, saya mohon kerajaan melihat capaian Internet di kawasan-kawasan luar bandar dan pinggir bandar. Saya mengambil contoh di kawasan Buluh Kasap misalnya, hampir semua kawasan kami adalah kawasan luar bandar dan pinggir bandar. Kalau boleh saya katakan di sini tempat-tempat seperti perumahan Ladang Plantation Palong Timur, Kampung Balai Badang dan beberapa penempatan lain terlalu rendah capaian Internetnya. Malah, Kampung Gelang Cincin yang terletak lebih kurang hanya 5 ke 6 kilometer dari bandar Segamat juga boleh dikatakan tidak mempunyai capaian Internet langsung. Ia bukan sahaja menyukarkan pelajar, malah guru-guru juga terpaksa keluar dari kampung untuk menggunakan Internet. Justeru, saya fikir dalam keadaan keperluan seperti mesyuarat-mesyuarat secara maya, pengajaran dan pembelajaran secara atas talian dalam usaha serius kerajaan termasuk menyediakan 8,000 alat peranti, maka sewajarnya juga kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah peruntukan bagi memastikan masalah Internet seluruh Johor diberikan perhatian serius dan diatasi terutama kawasan-kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Yang Berhormat Puan Speaker, berkaitan perkara vaksinasi di Johor, kami merakamkan rasa bangga dan berterima kasih apabila Yang Berhormat Menteri Besar Johor minggu lalu dipetik mengatakan, “Johor mampu mencapai kadar vaksinasi sebanyak 100% bagi dua dos lengkap melibatkan populasi dewasa menjelang Oktober 2021”. Ia suatu yang menggembirakan rakyat Johor. Ia juga Yang Berhormat Puan Speaker, mampu memadamkan rekod buruk Johor sebelum ini apabila Johor diletakkan berada di kategori
terendah berbanding negeri-negeri lain termasuk Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Namun, untuk mencapai ke tahap itu, Johor perlu melipat gandakan segala usaha termasuk jumlah vaksin dan PPV sedia ada. Justeru, saya ingin mencadangkan perbincangan lebih terperinci dengan kementerian berkaitan bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi. Kita tidak hendak berlaku lagi insiden di mana PPV terpaksa ditutup sementara kerana tidak cukup vaksin. Kerajaan juga menggunakan kemudahan klinik desa bagi membantu menambah PPV sedia ada.
Dalam pada itu, Buluh Kasap fikir kita juga harus berterima kasih kepada Southern Volunteers yang telah banyak membantu bukan sahaja melancarkan perjalanan proses vaksinasi di PPV tetapi juga telah membantu dalam program pendaftaran vaksin di kalangan masyarakat. Kegigihan para sukarelawan ini tidak boleh dinafikan. Saya melihat sendiri bagaimana mereka bergerak, dari taman-taman perumahan dan kampung ke kampung, semata-mata untuk berjumpa terus dengan masyarakat untuk didaftarkan. Untuk rekod, saya difahamkan sejak Southern Volunteers ini digerakkan bermula Jun 2021 hingga 22 Ogos 2021, kadar pendaftaran vaksinasi negeri berjaya dilonjakkan sehingga mencapai ke tahap 97.4%. Tahniah Southern Volunteers Johor, tahniah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan, tahniah Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan tahniah dan terima kasih juga Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor kerana Southern Volunteers ini juga penyumbang kepada peningkatan kepada pendaftaran vaksin di kalangan masyarakat terutama di kawasan luar bandar.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bagi daerah Segamat sehingga 22 Ogos 2021 kami difahamkan penerima dos pertama telah mencapai 52%, manakala penerima dos kedua pula telah mencapai 35%. Baki yang belum disuntik adalah lebih kurang 76,000 orang daripada anggaran atau sasaran daerah 133,000 bagi individu berumur 18 tahun ke atas. Kami difahamkan jika tiada lagi insiden kekurangan vaksin maka 3 PPV sedia ada di Segamat mampu menyelesaikan 76,000 orang yang belum menerima vaksin ini. Justeru, Yang Amat Berhormat menyokong apa sahaja usaha kerajaan negeri bagi mendapatkan vaksin.
YB Buluh Kasap sila gulung.
Bagi mendapatkan vaksin secukupnya. Bagi mencapai sasaran ditetapkan.
Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum mengakhiri perbahasan ini Buluh Kasap mengambil peluang merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan hadapan negara walau di mana mereka berada. Kerja kuat penuh dedikasi tuan-tuan semua sangat bermakna kepada kami semua. Akhirnya Yang Berhormat Puan Speaker, walaupun ada banyak lagi. Akhirnya Puan Speaker, sekali lagi mewakili penduduk-penduduk Buluh Kasap saya merakamkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana dirasakan terlalu dekat dan hampir dengan rakyat Johor. Peruntukan demi peruntukan diberikan kepada kami Wakil-Wakil Rakyat sangat membantu dan bermakna tanpa mengira fahaman politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Pengumuman terbaru RM150,000.00 semalam dalam Dewan yang mulia ini adalah sangat besar maknanya dan insya-Allah kami akan gunakan sehabis baik untuk rakyat Johor.
Yang Berhormat Puan Speaker, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun yang ditulis khas oleh seorang pesara guru untuk disampaikan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Berdiri segak nampak bergaya, cabaran dan ujian jadi kenangan, teruskan usaha hingga berjaya membawa Johor ke mercu kecemerlangan. Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yong Peng. Sila.
Yang Berhormat Puan Speaker. Salam sejahtera. Yong Peng menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yong Peng ingin memulakan ucapan saya ini dengan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang terlibat bagi menangani penularan wabak COVID-19. Terima kasih juga kepada semua petugas dan sukarelawan yang menjayakan program vaksinasi dan warga Kementerian KKM yang menggembleng tenaga merawat pesakit COVID-19. Tidak lupa ucapan takziah kepada semua ahli keluarga yang telah kehilangan orang tersayang akibat COVID-19. Anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa, suami isteri yang kehilangan pasangan, ibu bapa yang kehilangan anak dan semua yang hilang tempat bergantung. Saya berdoa dan berharap agar semua petugas barisan hadapan terus tabah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara sekali gus dapat keluar dari wabak COVID-19 secepat mungkin.
Yang Berhormat Puan Speaker, berikutan dengan peningkatan kes COVID di negeri Johor saya ingin menggesa pihak kerajaan negeri untuk mewujudkan Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di setiap daerah. Kita semua sedia maklum PKRC sedia ada di Stadium Tertutup Pasir Gudang hanya dapat menampung 1,200 orang pesakit pada satu-satu masa sedangkan jumlah pesakit setiap hari melebihi 1,000 orang di negeri ini. Hal ini menyebabkan keresahan di kalangan rakyat yang mana pesakit terpaksa menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu giliran untuk dihantar ke PKRC. Mereka bimbang akan menjangkiti ahli keluarga lain yang negatif. Oleh itu, saya memohon kerajaan negeri memandang serius dan mengambil langkah segera dengan menambah PKRC agar dapat mengekang virus daripada menular ke dalam komuniti.
Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya saya ingin menyentuh tentang program vaksinasi. Untuk makluman, PPV Yong Peng telah dibuka pada 18 Julai namun saya menerima banyak aduan daripada rakyat yang terpaksa mengambil vaksin di luar kawasan Yong Peng. Seperti di JB, Kulai, Segamat, Batu Pahat dan di Parit Raja. Di dalam Dewan yang mulia ini, saya mohon agar perkara ini diambil perhatian serius agar proses vaksinasi dapat dijalankan dengan cepat, selamat dan tidak membebankan rakyat. Bagi mencapai imuniti kelompok dengan segera saya juga ingin mencadangkan PPV di Yong Peng ini dibuka sehingga waktu malam supaya lebih ramai rakyat dapat di vaksin secepat mungkin. Lebih baik rakyat diizinkan walk-in ke PPV untuk dapatkan vaksin.
Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya saya ingin membangkitkan isu masalah banjir di Taman Damai Jaya dan Taman Desa, Yong Peng. Masalah ini sudah saya banyak kali bawa, ini kerana ini menjadi semakin memburuk kerana apabila hujan bukan sahaja banjir malah hakisan tanah juga berlaku. Perkara ini menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan penduduk setiap kali hujan lebat. Mohon pihak MDYP dan JPS mengambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, sering kita dengar berita kemalangan jalan raya disebabkan oleh kecuaian pemandu, namun ada banyak faktor terjadinya kemalangan. Iaitu keadaan jalan raya juga satu faktor. Saya ingin membangkitkan masalah permukaan jalan yang tidak rata dan beralun dari Yong Peng ke Ayer Hitam. Keadaan jalan seperti ini boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas. Oleh yang demikian, pihak yang berwajib untuk menyelenggara jalan berkenaan secepat mungkin. Demi menjamin keselamatan rakyat dan mengurangkan kadar kemalangan.
Yang Berhormat Puan Speaker, sampai di sini ucapan saya. Saya dengan rendah hati berharap apa yang saya bangkitkan dapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab. Bersama kita menangani pandemik COVID-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Johor Jaya. Jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker, atas peluang yang diberi untuk bahas dalam Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah menjunjung kasih atas keberangkatan dan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Yang Berhormat Puan Speaker, pandemik COVID-19 yang menular sejak tahun 2020 telah menjejaskan kehidupan rakyat jelata. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut mengakibatkan rakyat hidup dalam keadaan sengsara, kehilangan kerja, business tidak dapat dibuka dan sebagainya. Kadangkala kita fikir apa tujuan sebenarnya bagi PKP? Adakah untuk menangani wabak COVID-19? Sekiranya ya, adakah PKP berkesan? Cuba kita lihat balik apabila PKP kali pertama dilaksanakan pada 18 Mac 2020, kes positif harian pada masa itu adalah 117 orang pesakit. Selepas itu, PKP 2.0 dilaksanakan ke atas 6 negeri termasuk negeri Johor pada 13 Januari tahun ini dengan kes keseluruhan negara 2,985 orang pada masa itu. Kemudian, PKP 3.0 atau dikatakan total lockdown dilaksanakan pada 1 Jun tahun ini kes positif harian adalah 7,105 kes dan sehingga kini kes positif harian adalah 19,807 kes. Ini kadangkala melebihi 20,000 kes harian. Memang jelas kita lihat kes semakin meningkat selama ini. Bolehkah kita kata rakyat yang tidak mematuhi SOP yang mengakibatkan kes meningkat setiap hari. Atau rakyat yang suka ziarah-menziarahi mengakibatkan kes menular atau salahkan kilang yang masih buka. Kita harus tanya dengan diri, adakah PKP ini berkesan? Sudah lebih 2 bulan rakyat tidak dapat bekerja, business pun tidak dapat buka, pelajar tidak dapat kembali ke sekolah tetapi kes COVID ini masih tinggi lagi. Apa yang menyedihkan lagi adalah ekonomi merosot dan rakyat menghadapi masalah kehidupan harian. Tidak dapat bekerja, tidak dapat duit makan, tidak dapat bayar sewa, ada yang juga tidak dapat pam petrol dan tidak dapat bayar bil elektrik. Saya anggap ini bukannya hanya berlaku di Johor Jaya sahaja.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya telah menjalankan Program Makanan Harapan Percuma, iaitu edarkan pack makanan kepada golongan yang memerlukan. Program ini telah dilaksanakan sejak 5 Julai hingga 15 Ogos. Setiap hari lebih kurang 100 hingga 200 orang penduduk tempatan yang mengambil pack makanan tersebut untuk diri atau ahli keluarga mereka. Bukannya lauk yang sedap yang saya agihkan cuma makanan yang simple sahaja. Apa yang mengagumi saya sendiri adalah sepanjang program ini 28,899 pack makanan telah saya edarkan sepanjang tempoh ini. Johor Jaya cuma hendak highlight kan dalam Dewan yang mulia 28,899 pack makanan ini menunjukkan betapa ramai penduduk yang menghadapi masalah makanan harian. Sebab mereka tidak boleh bekerja. Kalau PKP sahaja, tanpa strategi yang berkesan memang tidak akan berjaya menurunkan kes. Dengan ini Johor Jaya bercadang saringan RTK secara besar-besaran harus dijalankan di seluruh negeri. Kini, RTK saliva test kit pun sudah ada. Pihak kerajaan haruslah memberikan test kit secara percuma kepada rakyat Johor khususnya kepada golongan B40.
Yang Berhormat Puan Speaker, isu vaksin merupakan satu lagi isu yang hangat ditanya. Setiap hari pejabat saya memang menerima penduduk yang bertanya, yang tanya berkenaan dengan vaksin. Setakat 20 Ogos jumlah pendaftaran di negeri Johor adalah 97.7% negeri kelima selepas negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Namun, dari segi vaksinasi dos pertama di Johor hanya 49% iaitu kedudukan ke-10 dalam negara. Mengapa kadar vaksinasi di Johor begitu rendah? Khususnya di Johor Bahru, beberapa masalah berkenaan vaksin yang ingin saya bangkitkan.
1. Ada golongan muda yang sudah vaksin. Warga emas pula yang masih belum dapat appointment lagi. Apakah penilaian bagi menentukan antara warga emas dan OKU yang dikatakan akan diutamakan?
2. Bila atau bolehkah warga emas, OKU atau ibu mengandung di Johor di beri vaksin secara walk-in seperti negeri lain?
3. Bilakah vaksin bergerak seperti yang telah dilaksanakan di daerah lain akan dilaksanakan di daerah Johor Bahru, bagi mereka yang OKU atau pesakit terlantar?
4. Pusat vaksin PPV yang jauh. Penduduk di Johor Jaya dihantar vaksin di Taman Universiti, Nusantara. Di mana dalam Pasir Gudang memang ada PPV Dewan Mawar yang dekat juga ada PPV Adda. Warg emas terpaksa pergi jauh lebih kurang 30 hingga 40 kilometer untuk suntikan vaksin. Ini memang menyusahkan penduduk di Johor Jaya.
Yang Berhormat Puan Speaker, memang ramai warganegara yang bekerja di Singapura dan oleh sebab kekangan yang dihadapi apabila ingin pulang ke negara, iaitu perlu kuarantin di Malaysia dan kemudian masuk ke Singapore pun perlu kuarantin. Sudah lama warganegara kita tidak pulang ke tanah air. Dengan ini, berita baik kita lihat bagi mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin di Singapura dapat kuarantin di rumah. Namun, sejak pengumuman ini timbul lagi masalah, kebanyakan mereka yang mohon melalui e-mel tidak dapat balasan e-mel. Saya anggap trafik untuk permohonan ini memang tinggi. Bolehkah wujud satu sistem untuk memudahkan proses bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditetapkan? Ini akan mengurangkan kerja-kerja pegawai semasa menilaikan kebenaran dan juga turut akan mempercepatkan proses permohonan.
Yang Berhormat Puan Speaker, terdapat tiga pusat kuarantin rawatan COVID iaitu PKRC di negeri Johor iaitu di Stadium Tertutup Pasir Gudang, PKRC swasta pula di DB Kompleks Iskandar Puteri dan juga PKRC Olive B, iaitu Hospital Permai. Sejak kebelakangan ini lonjakan kes COVID yang mendadak turut mengakibatkan ketiga-tiga PKRC ini mencapai kegunaan katil sebanyak 90%. Johor Jaya berpendapat bahawa pihak kerajaan perlu mengambil langkah dan persiapan awal untuk menampung keperluan yang semakin meningkat.
Menurut Majlis Keselamatan Negara, kes positif COVID-19 kategori 1 dan kategori 2 di setuju untuk di isolasi di rumah, tempat kediaman, hotel atau pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah iaitu PKRC atau hospital mengikut kesesuaian tempat kediaman kes. Kadang kala kita menerima permohonan bantuan daripada kalangan rakyat sebagai contoh senario 1. Apabila salah seorang ahli keluarga menjangkiti COVID, rumahnya tidak sesuai untuk asingkan pesakit COVID dengan ahli keluarga yang negatif. Sama ada bilik tak cukup, tandas tak cukup atau pada masa yang sama, PKRC pula katil-katil yang tidak cukup. Senario 2, ibu bapa yang menjangkiti COVID, namun tidak dapat meninggalkan anak-anak kecil di rumah atau mereka risau akan turut mendedahkan risiko kepada anak-anak mereka. Banyak lagi senario. Rakyat selalu tanya dengan kita, ke mana harus mereka pergi apabila katil tidak cukup. Ke mana mereka harus pergi, ini bermaksud dua kategori iaitu pesakit yang positif yang perlu dikuarantin atau kontak rapat yang perlu di kuarantin.
Saya fahami bahawa pihak kerajaan mengambil kira keluasan bilik atau bilangan bilik untuk menjadi PKRC. Memandangkan sektor pelancongan antara sektor yang paling terjejas, Johor Jaya berharap pihak kerajaan dapat menimbangkan atau memberi kelonggaran dalam garis panduan supaya bajet hotel turut memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah dihadapi. Dan menjadi salah satu tempat bagi mereka menjalankan kuarantin terutamanya bagi mereka yang kontak rapat atau PUS yang negatif. Pihak kerajaan harus memberi sokongan dan memberi kursus kepada mereka dan kerjasama menguruskan kontak rapat dengan satu hala tuju atau satu green light yang jelas, saya yakin mereka dapat, pertama, membantu menyelesaikan masalah kekurangan katil di PKRC. Kedua, dapat membantu dan memulihkan sektor pelancongan khususnya bajet hotel tempatan kerana kos kuarantin yang lebih murah di bajet hotel berbanding dengan hotel-hotel besar. Ini turut akan
mengurangkan beban pihak yang terlibat. Ketiga, iaitu isolasi yang lebih berkesan supaya mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 di kalangan ahli keluarga pesakit COVID-19.
Akhir kata Yang Berhormat Puan Speaker, Johor Jaya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua anggota barisan hadapan, frontliner yang terus berkorban untuk kita. Tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang, sama-sama kita memerangi pandemik COVID. Memulihkan ekonomi demi kebaikan negara dan rakyat. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Perling, jemput.
Salam sejahtera kepada Dewan yang mulia ini. Dan terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap di Dewan mulia ini. Terlebih dahulu, Perling ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana sudi menyampaikan titah baginda kepada Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, mengikut satu rencana daripada Code Blue salah satu media perubatan yang ditulis oleh Datuk Dr. Amar Singh pada 4 Ogos yang lalu menyatakan kemungkinan krisis COVID-19 di beberapa negeri akan lebih teruk daripada Lembah Klang antara negeri yang disebut beliau adalah negeri Johor dan rencana pada 19 Ogos oleh penulis yang sama telah menyatakan keadaan COVID di negeri-negeri yang disebutkan termasuk negeri Johor menjadi semakin teruk. Jadi pada waktu yang sama, beberapa minggu ini jumlah kes-kes baru COVID-19 di negeri Johor melepasi angka 1,000 kes. Walaupun kita ada menerima, kita tahu kita menerima jumlah vaksin yang banyak pada waktu yang terdekat ini, tetapi dalam fahaman Perling, dengan adanya bekalan vaksin yang mencukupi untuk mencapai sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah populasi negeri untuk mendapat vaksinasi 2 dos tambahan dengan 14 hari untuk mendapatkan hasil vaksinasi yang sempurna pada setiap individu yang divaksinkan dijangkakan kita mungkin memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan. Tapi dalam Code Blue dia cakap 2 bulan. Jadi saya ingin tahu apakah persediaan kerajaan dari segi kaedah ataupun peralatan untuk mengharungi sebulan ataupun dua bulan ini sebelum kita mencapai sekurang-kurangnya 50% daripada populasi negeri mencapai vaksinasi sempurna.
Yang Berhormat Puan Speaker, ramai yang rasa kita dengan vaksin sahaja kita sebenarnya boleh membendung penularan wabak COVID-19 ini. Kalau kita fikir begitu, diibaratkan meletak semua telur dalam satu bakul. Jadi dalam hal ini kerana banyak lagi yang tidak, ketidakpastian terhadap virus COVID-19 ini, terutamanya wujudnya mutasi virus yang dikatakan vaksin kini tidak dapat membendungnya dengan berkesan seperti varian Delta yang kadar penyebarannya yang lebih besar. Dan sudah ada sebilangan pesakit COVID-19 yang meninggal dunia walaupun telah di vaksin di negeri kita.
Jadi, saya amat bersetuju dengan apa yang disebutkan oleh Skudai semalam dan kita perlu perhatian lebih kepada kaedah FTTIS+V yang merupakan asas kepada pengendalian wabak berjangkitan iaitu kenal pasti ujian kesan kuarantin dan sokong berserta dengan vaksinasi. Jadi antara lanjutan daripada kaedah yang disebutkan tadi adalah saringan sama ada PCR ataupun RTK secara besar-besaran dan secara berkala dari masa ke semasa. Jadi terutamanya untuk di tempat-tempat kerja, inilah yang kita sampaikan. Jadi, kita pun faham kerajaan negeri telah menerima sebilangan, memperolehi sebilangan besar RTK bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 3.0. Jadi, Perling ingin tahu golongan manakah yang diberi keutamaan untuk ujian RTK di bawah pakej ini. Jadi, kita sekarang menghadapi dilema buka atau tutup sektor ekonomi.
Jadi, pandangan Perling adalah kita boleh bekerjasama dengan sektor penguasa-penguasa sektor swasta yang mempunyai bilangan pekerja tertentu untuk membuat saringan sama ada PCR atau RTK secara besar-besaran dan secara berkala dari semasa ke semasa dan melaporkan secara berkala kepada pihak berkuasa terutamanya kepada KKM. Kerana hal
ini kita berpendapat dengan kerjasama begini, kita boleh mengenal pasti, sebab saringan besar-besaran ini kita nak kenal pasti siapa yang kena COVID dahulu dalam situasi ini lebih cepat dan mengambil langkah yang boleh kita boleh mengambil langkah untuk membendung wabak terus merebak. Sekurang-kurangnya tidak menjadi kluster COVID-19. Pada waktu yang sama kita boleh, sektor ekonomi kita boleh terus beroperasi.
Yang Berhormat Puan Speaker, memandangkan pada saat-saat ini keperluan saringan dan pengendalian prosedur kuarantin meningkat terutamanya di daerah Johor Bahru yang penduduknya padat. Dalam pengamatan saya kita ada dua CAC iaitu COVID Assessment Centre, dengan izin dalam daerah Johor Bahru iaitu di Bukit Indah dengan di Pasir Gudang. Tapi kita sering menerima aduan kesesakan lalu lintas dan lebih membimbangkan sebenarnya adalah ramai yang berkumpul untuk menunggu giliran dia untuk ujian. Jadi, wujud kebimbangan di mana jangkitan COVID-19 daripada orang yang berkumpul ini.
Selain itu, adakah mereka-mereka yang balik daripada Singapura juga menguruskan prosedur kuarantin mereka dekat CAC yang sama. Jika ya, ia akan menimbulkan satu kebimbangan jangkitan COVID-19 kalangan yang tidak bersakit. Jadi seterusnya, kita akan, saya ingin tanyakan apakah langkah-langkah kerajaan yang buat untuk mengatasi keadaan yang di atas. Saya, Perling berpendapat kita boleh menambah lebih CAC yang berskala kecil atau bergerak ditempatkan berasingan di merata daerah ataupun di merata kawasan untuk memudahkan penduduk berdekatan untuk menjalani ujian swab test, jika keperluan perkhidmatan CAC sebegini atau bergerak sebegini berkurang, kita baru tumpu baliklah kepada CAC yang asal. Hal ini kita boleh kurangkan pergerakan manusia ataupun berkumpul kalau kita meletakkan tempat-tempat berasing.
Begitu juga dengan PPV. Pusat Penerimaan Vaksin. Kita, saya, Perling berpendapat sebenarnya di Johor Bahru ini kita perlukan lebih banyak yang skala kecil. Baik kita buat dekat klinik awam, klinik swasta sebab dia berasingan dan merata tempat untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan lebih penting mengelakkan orang ramai berkumpul, seterusnya mengurangkan jangkitan COVID-19 berlaku. Hal ini sebab sudah ada jangkitan COVID-19 berlaku dari PPV sendiri. Jadi pada waktu yang sama, sebenarnya Perling ingin tahu sama ada peringkat negeri, kerajaan negeri ataupun ada tak membantu mengendalikan aturan dalam MySejahtera. Sebab saya menyebut sedemikian sebab, penerima vaksin sepatutnya menerima vaksin di PPV yang berdekatan dengan poskod yang didaftar. Bukannya sering berlaku ialah orang yang daripada Gelang Patah dia terpaksa pergi ke Pasir Gudang atau sebaliknya untuk menerima vaksin. Walaupun dekat daerah yang sama, tetapi ini telah menyebabkan pergerakan manusia lebih dan menambahkan risiko penyebaran COVID-19.
Yang Berhormat Puan Speaker, dalam zaman maklumat ini sebenarnya penyampaian info-info melalui apa jua media memainkan peranan yang penting dalam membendung wabak COVID-19 ini. Apa yang saya bincangkan bukannya ketepatan maklumat yang disampaikan, maklumat yang disampaikan memang tepat. Tetapi, adakah kita ingin bincangkan pasal keberkesanan penyampaian maklumat kepada orang ramai. Sebab hal ini ramai lagi yang tidak tahu apa yang buat, bila dia tidak bernasib baik dijangkiti COVID-19. Ada yang masih berkeliaran di luar rumah walaupun disahkan dijangkiti COVID kerana dalam pengetahuan mereka cuma bila di gelang oleh KKM, mereka digelang oleh KKM baru perlu tinggal dalam rumah. Ini juga akan menambahkan risiko jangkitan COVID. Saya rasa kita semua akan menggunakan bahasa yang kita tahu untuk menyampaikan maklumat yang tepat pada penduduk untuk membantu membentuk, mencegah jangkitan COVID-19. Tapi kita tetap dapat berkomunikasi dengan baik dengan berkesan jika berhadapan dengan warga negara asing yang tidak fasih dengan bahasa.
Sehubungan dengan itu, Perling berpendapat selain maklumat yang tepat, keberkesanan penyampaian maklumat berkenaan wabak juga perlu diambil kira. Mungkin dengan cara penyampaian maklumat yang lebih menarik, mencuit hati ataupun penyebaran yang lebih luas dan kemungkinan kita perlukan beberapa bahasa untuk keberkesanan berkomunikasi.
Yang Berhormat Puan Speaker, sebenarnya tadi..
YB Perling sila gulung.
Yang Berhormat EXCO telah menyatakan bukan dengan pengangkutan awam yang terlibat dalam, pengangkutan awam yang terlibat dalam pengendalian COVID tadi. Dan saya menyebut hal ini sebab kita melihat kekurangan ataupun keperluan ambulans yang semakin meningkat terutamanya membawa pesakit ke CAC. Jadi saya di sini mencadangkan supaya kemungkinan kita berikan latihan kepada pihak berkenaan dan membantu mengendalikan ini satu sedikit sebanyak kita boleh berikan nafkah kepada golongan ini dan sedikit sebanyak kita membantu situasi ini.
Jadi sebelum saya berakhir ucapan saya, sebenarnya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua frontliner yang bertungkus lumus di barisan hadapan dan saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan pihak Pejabat Jurutulis yang menyediakan papan halangan ini dan menjaminkan mesyuarat kita boleh dijalankan dengan selamat dan ambil kesempatan ini sebab seminggu dua ini kita dah nak menjelang hari kemerdekaan, saya, hari kebangsaan kita, saya mengucapkan selamat menyambut hari kebangsaan. Sekian sahaja daripada Perling.
Yang Berhormat Tanjung Surat, jemput.
Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum dan salam makmur Johor. Terima kasih kepada Puan Speaker kerana memberi peluang kepada Tanjung Surat untuk berucap walaupun 10 minit sahaja. Yang utamanya, Tanjung Surat ingin merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, di atas keberangkatan baginda merasmikan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-14 pada hari Khamis, 12 Ogos 2021 yang lalu. Baginda bertitah mengenai kebimbangan baginda kerana negeri Johor masih mencatatkan bilangan kes dan kematian dari COVID-19 yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan tahun lalu.
Baginda juga mahu kerajaan terus merancang dan mengambil tindakan bagi membantu rakyat yang terkesan dari segi ekonomi. Kadar vaksin hendaklah ditingkatkan segera agar imuniti kelompok dapat dicapai seawal mungkin. Dengan 2 juta dos vaksin dikatakan dapat dalam bulan Ogos ini, negeri Johor insya-Allah, akan dapat mempertingkatkan lagi kadar vaksinasi. Dari figure yang saya ada bertarikh 16 Ogos, setakat ini Johor nak dos pertama 60.2%, dos kedua, 28.3%, ini 16 Ogos ya, mungkin sekarang dah jauh lebih tinggi. Pemulihan ekonomi untuk memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas, hendaklah di perhebatkan lagi. Sektor-sektor ekonomi yang kurang risiko jangkitan hendaklah dibuka segera. Bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat hendaklah dihulurkan secepat mungkin. Pemantauan kepada pematuhan SOP hendaklah diketatkan secara berterusan. Kita tidak mahu dalam usaha kita memulihkan ekonomi, kes jangkitan COVID-19 terus bertambah.
Pandemik COVID-19 Puan Speaker adalah unprecedented, dengan izin, lain dari yang lain dan memerlukan respons yang luar biasa. Alhamdulillah, program vaksinasi di kawasan DUN Tanjung Surat berjalan lancar. Hampir semua kampung-kampung utama dan kampung-kampung rangkaian sekeliling kampung-kampung utama ini, telah mendapat vaksin dan kepada penduduk-penduduknya, Dan, saya yakin sikit masa lagi kawasan saya boleh katakan 80% telah divaksin. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Kesihatan Daerah Kota Tinggi dan pasukannya, juga terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat, para sukarelawan, pemimpin-pemimpin masyarakat di atas perkhidmatan mereka yang cemerlang dalam menjayakan program vaksinasi ini.
Puan Speaker, saya ingin menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan kawasan saya selanjutnya. Di kawasan saya ada satu projek PPR, atau disebut singkatan PPR kepada Projek Perumahan Rakyat, ini adalah sebuah projek Jabatan Perumahan Negara. 300 unit rumah bertingkat, kontraktor yang melaksana sekarang ini adalah kontraktor yang kedua, kerana kontraktor yang pertama telah gagal menyiapkan projek ini. Saya harap kontraktor yang sekarang dapat menyiapkan, dijangka tarikh terbaru diberi oleh Yang Berhormat EXCO pada 12 Julai 2022. Ini pun saya risau tak mungkin tercapai dengan lockdown atau PKP ini kerana kerja-kerja construction banyak tiada kegiatan construction,tak ada pembinaan buat masa ini, di bawah PKP. Jadi sementara menunggu bangunan siap, saya ingin mengajak supaya kita dapat melihat perkara ini. Ini adalah satu perumahan di kawasan DUN saya yang bertingkat yang pertama.
Yang pertama maknanya orang kampung saya ni dulu daripada 7 kampung berpindah ke kawasan Taman Bayu Damai dan lain-lain kampung, semua orang kampung yang tidak pernah bayar cukai pintu, tidak pernah bayar maintenance fee, yuran penyenggaraan, jadi saya yakin dengan bangunan bertingkat ini, mereka terpaksa membayar kedua-duanya. Jadi, saya tahu saya akan menghadapi dengan masalah bahawa mereka akan merasa beratlah untuk membayar kedua-dua ini. Tapi mungkin pihak kerajaan dapat membantu sekurang-kurangnya pada awalnya, macam mana nak kurangkan beban mereka apabila mereka berjaya mendapat sebagai pembeli pada unit-unit dalam rumah ini. Keutamaan hendaklah diberi kepada 126 orang penghuni rumah transit. Rumah transit ini adalah untuk orang-orang yang tiada pampasan, bila kampung mereka dipindah, mereka dipindahkan di rumah sementara yang sederet itu ada beberapa deret, jadi ada lebih kurang 126 yang layak untuk ditempatkan di rumah PPR ini, namanya ada dalam BPEN, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri. Jadi berharap, khususnya Yang Berhormat EXCO, pastikan yang 126 ni dapat, dan selepas 126 ni hendaklah penduduk-penduduk tempatan di kawasan saya. Tolong jangan bagi orang luar, penat ADUN kena hentam. Orang yang tak ada mengena dengan Pengerang pun boleh dapat nanti. Saya harap perkara-perkara macam ni jangan berlaku. Saya berharap betul supaya mereka-mereka yang layak, walaupun dalam kawasan saya, ada juga yang cuba-cuba dapat walaupun dah ada rumah. Ada yang ada 2 rumah pun hendak juga cuba dapat ni. Saya tahu ya, kita harap pihak Bahagian Perumahan dapat memastikan orang-orang yang benar-benar layak dapat menduduki rumah ini.
Saya ingin menyentuh juga mengenai perkara yang kita kena tengok ialah bila rumah ni siap ada 300 unit. Kalau kita cakap 1 rumah aje ada 1 orang aje murid sekolah, sekolah rendahlah contohnya, 300 murid akan bertambah di Kampung Pungai. Sekolang Kampung Pungai ada dalam 110 murid sahaja. Nak tambah 300, adakah sekolah tu mampu untuk menampung 300 tambahan ini?Ni saya cerita 1 rumah seorang sahaja. Kalau lebih macam mana? Jadi, saya harap jabatan agensi yang berkenaan dapat tengok perkara ini ya. Jangan nanti bila siap rumah ni orang dah duduk, tak boleh nak di, tak dapat sekolah, kena hantar sekolah jauh lah, yang jauh daripada tempat tinggal. Dah pindah kat situ ingat dapat sekolah di kampung tu, tapi tak dapat. Jadi saya harap, begitu juga sekolah agama. Mana nak letak murid-murid ni yang 300 ni. Adakah Sekolah Agama Pungai dah siap, dah ready, atau pun dah bersedia, dah memikirkan? Jadi saya harap perkara ini dapat dilihat secepat mungkin kerana bangunan ini akan siap tak lama lagi.
Saya juga ingin menyentuh satu lagi kerana masa tak mengizinkan. Alhamdulilah, saya diberitahu oleh pihak JKR,Masjid Taman Bayu Damai akan ditender bulan September, kata JKR lah. Saya harap benar-benarlah dan dapat dilaksanakan orang kampung, orang kampung yang 7 kampung pindah ni, menunggu masjid ni begitu lama, sekarang dia pakai sebuah surau dijadikan tempat sembahyang Jumaat. Jadi masjid ini pula akan menampung, boleh menampung sampai 2,000 jemaah, rasa saya masjid terbesar di kawasan saya. Jadi saya harap masjid ini dirancang oleh Jabatan Agama ke siapa pihak berkuasa supaya biar masjid ini digunakan sepenuhnya, maknanya kalau ada taman-taman baru yang akan dibina berhampiran, jangan benarkan dia buat masjid, suruh dia buat surau. Jadi untuk ....
Sila gulung...
Ok, Untuk sembahyang Jumaat dan kegiatan-kegiatan yang besar, majlis-majlis keagamaan dapat diadakan di masjid ini. Yang saya bangga sekali kerana penglibatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam projek ini. Insya-Allah, dengan restu baginda projek ini akan berjalan dengan baik dan manfaat kepada 7 kampung yang pindah, orang apa, orang muhajirin ya, yang berpindah, dapat menggunakan masjid ini untuk kegiatan agama mereka. Jadi tidak lebih masa, saya dari Tanjung Surat menyokong usul. Sekian, terima kasih.
Jemput Yang Berhormat Machap.
Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum dan salam makmur Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, pertamanya Machap ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kerana diberi peluang berucap dalam perbahasan menjunjung kasih di atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor dalam Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Yang Berhormat Puan Speaker, meneliti dan memperhalusi titah Tuanku akan memperlihatkan harapan baginda kepada isu pandemik COVID-19 yang berlaku pada ketika ini agar berlalu segera dan isu ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin. Isu yang telah mengakibatkan rakyat kehilangan sumber pendapatan, atau pendapatan terjejas sama ada rakyat tidak dapat bekerja ekoran terpaksa tutup perniagaan, dicutikan kerana kerja mereka tidak tergolong dalam sektor penting, ada yang dibuang kerja yang menjurus kepada rakyat tidak ada pendapatan untuk menyara kehidupan mereka, untuk keperluan pembelian makanan, susu dan lampin anak, gagal membayar sewa rumah, gagal membayar hutang kenderaan dan lain-lain. Yang bekerja juga terpaksa menanggung risiko, ada yang terjangkit di tempat kerja, pemikiran mereka sentiasa diselubungi takut-takut kalau mereka dijangkiti penyakit yang digambarkan tersangat azab dan perit yang dialami sekiranya terkena jangkitan COVID dan kesedihan apabila diakhiri dengan kematian pada pesakit. Bertambah lagi kesedihan apabila jenazah ahli keluarga tidak dapat diberikan penghormatan terakhir sebagaimana biasa, kerana pengurusannya diuruskan mengikut SOP pengebumian COVID. Dan kita lihat pada ketika ini, jangkitan COVID ini cukup mengganas apabila adanya varian-varian baru yang menyerang kepada manusia pada ketika ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, angka menunjukkan peningkatan yang agak merisaukan negeri Johor. Contohnya, pada 19 Ogos sebanyak 1,526 kes, 20 Ogos, 1,323 kes, 21 Ogos 1,558 kes dan 22 Ogos, 1,391 kes. Maknanya, kes ini tidak berkurangan, mencecah kepada 1,000 kes tapi sebaliknya berada pada tahap 1,000 lebih kes. Sementara di DUN Machap sendiri terdapat sebanyak 172 kes pada 16 Ogos, 24 kes pada 17 Ogos, 39 kes pada 18 Ogos, 76 kes pada 19 Ogos, 29 kes pada 20 Ogos dan 23 kes pada 21 Ogos. Kes ini berlaku sama ada yang melibatkan saringan bergejala, saringan tempat kerja, saringan kontak rapat, saringan kluster tertentu yang sebahagiannya berlaku di taman-taman, di kampung-kampung juga di kawasan bandar.
Yang Berhormat Puan Speaker, ada pesakit COVID yang dirawat di hospital, ada yang di kuarantin di rumah, tidak boleh keluar membeli keperluan makanan, mereka juga tidak dibantu oleh Wakil Rakyat kerana maklumat tidak diperoleh sehingga kadang kala mereka terputus bekalan dan diviralkan dalam FB, baru pihak tertentu memberikan bantuan. Memanglah kita faham bahawa menjadi kerahsiaan, kerahsiaan tentang maklumat pesakit untuk dihebahkan kepada orang yang tidak berkenaan oleh KKM. Tetapi dalam hal ini saya berpendapat wajar sekiranya pihak Wakil Rakyat diberitahu sekurang-kurangnya apabila kita cepat tahu perkara ini, maka bantuan yang sewajarnya dapat kita salurkan kepada mangsa. Saya bacakan satu viral dalam FB, begini bunyinya “Assalamualaikum, buat pertama kali saya memohon di sini kakak saya baru disahkan COVID-19 semalam. Dan kami seramai 13 orang, 6 dewasa, 7 kanak-kanak kena kuarantin di rumah sementara tunggu KKM datang untuk buat swab test. Doakan kami yang lain negatif dan doakan kesembuhan buat kakak
saya. Di sini jika boleh saya ingin memohon barang asas dan barang basah sebab kami dah kehabisan. Jadi tidak keberatan saya juga ingin memohon sedikit sanitizer dan vitamin C untuk kanak-kanak, harap ada yang sudi membantu. Dah try call DUN, Wakil Rakyat area sini tapi tak dapat”. Oleh kerana viral tu di Machap, seolah-olah DUN tu saya lah. Jadi saya pun bukalah telefon saya tengok-tengok kalau ada nombor itu membuat panggilan, tapi setakat ini langsung tak ada.
Apa yang cuba saya nak beritahu di sini ialah maklumat ini saya peroleh daripada kawan yang hantar pada saya. Dia hantar pada hari Ahad, hantar pada saya hari Ahad yang diviralkan tapi alhamdulillah Sabtu kita dah hantar bantuan kepada yang hantar mesej ini. Hebatnya YB Machap ya. Ahad diviralkan tapi Sabtu kita sudah hantar bantuan kepada penerima. Apa yang saya nak tegaskan di sini ialah kalau boleh supaya maklumat yang berkaitan dengan kes-kes COVID ini dapatlah pihak-pihak tertentu menyalurkan maklumat supaya kita dapat ambil tindakan segera. Jadi bila disebut aduan telah dibuat kepada ADUN maknanya pengharapan rakyat masih tetap ada kepada Wakil Rakyat untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.
Yang Berhormat Puan Speaker, untuk pemulihan ekonomi kita kena kawal COVID. Justeru, pemberian vaksin kepada rakyat Johor perlu disegerakan untuk mencapai imuniti kelompok apatah lagi Johor hanya mencatat unjuran 36.1% setakat 21 hari bulan yang lepas yang menerima dua dos suntikan. Sementara dos yang pertama sebanyak 45%, sementara yang mendaftar pula ialah 2,611,821. Kita berharap agar kesegeraan pemberian vaksin dapat diusahakan di negeri Johor.
Yang Berhormat Puan Speaker, demi kelangsungan hidup rakyat kita, kita kena bantu di saat getir begini. Justeru Belanjawan Johor 2021 dengan Johor Berkebajikan telah memberikan perhatian khusus kepada bentuk bantuan yang difikirkan wajar untuk disalurkan. Sebagai contoh pemberian RM500.00 kepada 5,205 pemilik teksi dan teksi lapangan terbang dengan jumlah peruntukan RM2.6 juta. Dan, saya lihat sekarang ini memang cukup terkesan COVID ini kepada pendapatan pemandu teksi terutamanya. Kadang kala bila kita lihat, kita lalu di hentian teksi, ramai pemandu teksi yang katanya menganggur, tidak beroperasi sebab tidak ada penumpang yang hendak membawa mereka ke destinasi tertentu. Bila bantuan ini diberikan, memanglah mereka cukup menghargai. Kemudian pemberian RM100.00 One-Off kepada 20,000 pemandu e-Hailing dan penghantar makanan dengan jumlah RM2 juta. Dan kita melihat sekarang ini semasa COVID memanglah ini adalah satu-satunya peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan kepada anak-anak muda terutamanya dalam menambah pendapatan mereka atau memperoleh pendapatan mereka sempena COVID ini.
Seterusnya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi, PRE Ihsan Johor 1, PRE Ihsan Johor 2, PRE Ihsan Johor 3 dengan bantuan RM8 juta gerobok makanan hampir kepada 1,000 rakyat yang terkesan menerimanya. Di sini di DUN Machap, di mukim Machap, mukim Ulu Benut, sebahagian di mukim Renggam, sebahagian di mukim Kluang telah menerima hampir 1,900 beras dan set keperluan makanan yang diberikan. Machap mengucapkan terima kasih di atas bantuan ini.
Dan dalam memperkasa peranan Wakil Rakyat sebanyak RM7.05 juta telah diberikan peruntukan khas COVID kepada semua Wakil Rakyat di negeri Johor. Dan kalau sebelum ini Wakil Rakyat menerima peruntukan sebanyak RM50,000.00 setiap orang, kalau kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM550.95 million dalam ketiga-tiga PRE dan dibahagikan dengan 3,296,600 penduduk di negeri Johor akan mendapat RM141.00 setiap orang. Tetapi bila berikan peruntukan sebanyak RM50,000.00, sekiranya dibelanjakan dengan kadar RM30.00 untuk pembelian barangan, maka seramai 1,700 orang penerima yang akan dapat bantuan dalam bentuk barangan. Dan kita juga berasa berbesar hati dan sangat bersyukur di atas kepedulian dan keprihatinan mendalam pihak Menteri Besar untuk membantu rakyat Johor dengan pemberian sebanyak RM150,000.00 kepada setiap Ahli Dewan Undangan
Negeri Johor yang memperlihatkan kematangan dan tidak memilih kasih dalam pemberian peruntukan ini.
Sila gulung.
Yang Berhormat Puan Speaker, kita tidak pasti bila COVID akan berlalu, setahun, dua tahun, tiga tahun sukar untuk dinyatakan. Dan sewajarnyalah langkah-langkah bantuan yang perlu diberikan harus berbentuk sama ada jangka pendek dan jangka panjang, harus kita fikirkan dari semasa ke semasa. Penghargaan diberikan kepada frontliner yang bertungkus lumus bertugas semasa COVID yang melanda di negara kita, yang tidak pernah kenal erti putus asa dan penat lelah. Dan sekalung tahniah juga kepada Southern Volunteers Simpang Renggam yang telah membantu di DUN Machap yang mendaftarkan seberapa ramai orang untuk di vaksin dan membantu kerja-kerja kebajikan di PPV Simpang Renggam. Sekian, terima kasih.
Jemput Yang Berhormat Serom.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker di atas peluang yang diberikan kepada Serom untuk berucap di Dewan yang mulia ini. Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom mohon izin untuk memulakan ucapan perbahasan ini dengan kita bersama merenung sejenak kepada maksud sepotong ayat al-Quran, dari surah an-Nisa’, ayat yang ke-58 yang bermaksud, “Dan menyuruh apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil”. Sifat adil penguasa terhadap dalam apa bidang sekalipun dengan tidak membezakan antara satu dengan yang, lain di dalam pelaksanaan undang-undang akan menjadi amalan kerajaan yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Ir. Haji Hasni Mohammad, begitu juga pimpinan baharu kerajaan persekutuan yang dipimpin Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.
Negeri dan negara telah menyaksikan pelbagai insiden yang melibatkan pelbagai pertikaian pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang yang berbeza di kalangan rakyat negara ini khususnya melibatkan ahli-ahli politik dan pimpinan kerajaan ia suatu yang sangat menyedihkan di kala para Wakil Rakyat yang menggubal undang-undang tapi golongan yang sama pula yang terpalit dengan ketidakpatuhan kepada undang-undang yang diluluskan. Serom ingin menyarankan kita dilihat menjadi golongan yang paling patuh kepada undang-undang yang menjadi contoh rakyat keseluruhannya.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom juga ingin mengucapkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua frontliner yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam usaha kita mengawal pandemik COVID-19 dan menyantuni rakyat keseluruhan yang terkesan dengan pandemik ini, begitu juga pelaksanaan siri-siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang begitu menyeksakan ini. Umumnya kita semua masih belum nampak apa-apa tanda yang jelas bilakah pandemik akan berakhir dengan data-data semasa menyaksikan jumlah yang dijangkiti secara konsisten bagi negeri Johor sahaja sebanyak 1,391 semalam dan 19,807 kes harian seluruh negara dan jumlah yang hampir sama bagi tempoh beberapa minggu yang lalu. Harapan kita bergantung kepada kejayaan program vaksinasi dengan harapan mencapai imuniti kelompok seawal Oktober akan datang. Namun kewujudan varian Delta yang sangat bahaya hatta kepada warga yang telah lengkap di vaksin amat-amat membimbangkan. Persediaan dan perancangan khususnya penglibatan aktif dan bermakna semua pihak termasuk Ahli-Ahli Dewan Negeri di pelbagai
peringkat pentadbiran baik di kampung-kampung daerah mahupun negeri untuk menghadapi situasi yang lebih getir perlu dibenarkan sebagai persediaan negeri dan negara keseluruhannya. Ini selari dengan apa yang telah disarankan oleh YB Sri Medan, Parit Yaani, Stulang maka Serom ingin menegaskan sekali lagi agar permintaan ikhlas untuk secara aktif terlibat di dalam pelbagai mesyuarat agensi-agensi kerajaan di peringkat daerah dan negeri dapat dipertimbangkan secara serius. Jika tiada negeri yang lain yang laksanakan, maka Johor mulakan. Memang Johor dah lama mulakan malah lebih awal dari kerajaan persekutuan khususnya dalam memberikan peruntukan kepada semua Wakil Rakyat. Maka inilah cara Johor, pinjam daripada YB Sri Medan tadi.
Serom mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas peruntukan tambahan yang diberikan kesediaan pihak kerajaan memberikan peruntukan tambahan sebagai sebahagian pengiktirafan sumbangan rakan-rakan sebelah sini sebagai rakan-rakan strategik perlu dan boleh ditambah baik lagi dengan penglibatan aktif Wakil-Wakil Rakyat pelbagai peringkat untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom hari ini satu-satunya Wakil Rakyat daripada daerah Tangkak yang dapat hadir dan berbahas di Dewan yang mulia ini. Serom terlebih dahulu ingin membangkitkan isu jangkitan COVID-19 yang berlaku di daerah ini, kadar jangkitan yang sangat tinggi di daerah ini dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,475 kes sehingga 22 hari bulan Ogos dengan kematian yang sangat tinggi iaitu 137 kematian. Data-data kes positif yang dicatatkan menampakkan ia berselerakan hampir di seluruh pelosok daerah. Apa lagi yang membimbangkan kewujudan varian Delta di daerah ini, untuk makluman semua Ahli Dewan jumlah kes positif dan kematian ini sangat rendah malah lebih rendah berbandung dengan daerah-daerah di Johor yang lain pada peringkat awal pandemik namun telah meningkat secara mendadak khususnya dalam pelaksanaan PKP 3.0 dan pengisytiharan darurat tempoh hari. Situasi ini sangat membimbangkan seluruh warga Serom khususnya dan Tangkak amnya. Semakan dan aduan yang bertali arus yang diterima Serom menunjukkan kluster kilang yang wujud di kawasan perindustrian Tanjung Agas dan Tangkak menjadi antara penyebab utama kepada situasi ini. Maka Serom ingin menyeru semua pihak yang terlibat untuk menginsafi apa yang berlaku dan memberi keutamaan kepada keselamatan kesihatan rakyat keseluruhannya berbanding dengan keuntungan yang sementara.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom juga ingin membawa ke pengetahuan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini mengenai keadaan rakyat keseluruhan khususnya golongan B40 dengan izin, yang sangat terkesan dengan pelaksanaan PKP yang masih terus berjalan dan tiada kepastian ia tidak akan berulang lagi pada masa-masa yang akan datang. Kesan langsung yang ditanggung golongan ini bukan sahaja dari segi ekonomi, malah lebih teruk daripada itu ialah isu-isu pendidikan yang akhirnya menjejaskan prestasi pembelajaran anak-anak bagi jangka panjang. Masalah-masalah ini berkaitan perkara ini seperti tiada penyelesaian bagi mereka dengan masa yang berlalu. Keperluan utama pembelajaran melalui PdPR ialah capaian Internet yang sangat rendah khususnya, kawasan Belemang, Kampung Kolam, Paya Kepong dan seumpamanya dan ketiadaan peranti yang bersesuaian perlu diperbaiki dalam masa yang terdekat. Mohon pihak kerajaan hari ini memberikan perhatian serius kepada penyelesaian kepada isu ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, pandemik COVID-19 yang berlaku ini telah dan akan menyebabkan kadar kemiskinan bandar dan luar bandar akan kembali meningkat dengan sangat ketara dalam masa terdekat ini. Ini disumbangkan kesan daripada pengangguran, bilangan pekerjaan dan pendapatan yang berlaku. Suatu mekanisme yang bijak serta kreatif oleh kerajaan negeri perlu disediakan dibangunkan untuk mengambil, untuk mereka kembali mampu berdikari bagi meneruskan kelangsungan hidup dan keluarga. Untuk itu, pelbagai sumber dan kekuatan baru perlu dikemas kini dan dimanfaatkan dengan lebih bijaksana dan kreatif untuk kebaikan rakyat keseluruhannya. Kerajaan perlu mencari dan mengenal pasti mekanisme yang sesuai untuk usaha ini. Serom mencadangkan agar
sebuah jawatankuasa khas diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi usaha ini dengan penglibatan pelbagai pihak yang berkepentingan.
Yang Berhormat Puan Speaker, akhir kata Serom ingin menyuarakan kebimbangan sebahagian rakyat kepada tindakan kerajaan membuka 11 sektor ekonomi baru-baru ini dengan semua menyedari bahawa kadar positif yang masih terlalu tinggi khususnya di Johor berbanding kes-kes ketika PKP 3.0 mula dilaksanakan tempoh hari. Semoga pandemik COVID-19 ini segera berakhir dan rakyat Johor kembali bangkit dengan lebih cemerlang pada tahun-tahun yang akan datang. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan saya tangguhkan sehingga hari esok, Selasa 24 Ogos 2021, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.10 tengah hari.