Kelantan · 4 March 2024

15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 12 turns · 2,094 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalKelantan publishes one PDF per meeting for the current assembly; of the previous one only March 2023 (and July 2022, from the Wayback Machine) survive. The November 2023 budget meeting is not published. Written answers: 2025 only.

(Pembukaan)

Setiausaha

ﻟﺮﺣﻴﻢ ا ﻟﺮﲪﻦ ا ﷲ ﺑﺴﻢ ﺑﺮﻛﺎﺗﻪ و ﷲ ﲪﺔ ور ﻋﻠﻴﻜﻢ م ﻟﺴﻼ ا PERSIDANGAN KALI PERTAMA, PENGGAL KEDUA, DEWAN NEGERI KELANTAN KELIMABELAS TAHUN 2024 AL-FATIHAH.

Doa

Setiausaha

Susunan Urusan Persidangan Yang Pertama, Doa. [ BERDOA SAMBIL BERDIRI ]

Pengesahan Peringatan Persidangan Kali Kedua (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Yang Pertama, Dewan Negeri Kelantan KelimabelasAddress / budget

Setiausaha

Susunan Urusan Persidangan Yang Kedua, Pengesahan Peringatan Persidangan Kali Yang Kedua (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Yang Pertama, Dewan Negeri Kelantan Kelimabelas.

Speaker

Minta cadangan…

Hj Mohd Adanan bin HassanPAS · PNKelaboran

ﺑﺮﻛﺎﺗﻪ و ﷲ ﲪﺔ ور ﻋﻠﻴﻜﻢ م ﻟﺴﻼ ا Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan supaya Peringatan Persidangan Kali Kedua (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Pertama, Dewan Negeri Kelantan Kelimabelas yang telah diadakan pada hari-hari Rabu, Khamis, Ahad, Isnin dan Selasa 08, 09, 12, 13 dan 14 JamadilAwal 1445H bersamaan 22hb, 23hb, 26hb, 27hb, dan 28hb November 2023 supaya diterima dan disahkan.

Speaker

Sokongan…

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong cadangan tersebut.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, persoalan yang ada di hadapan kita sekarang ialah satu cadangan supaya Peringatan Persidangan Kali Kedua (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Pertama, Dewan Negeri Kelantan Kelimabelas yang telah diadakan pada hari-hari Rabu, Khamis, Ahad, Isnin dan Selasa 08, 09, 12, 13 dan 14 JamadilAwal 1445H bersamaan 22hb, 23hb, 26hb, 27hb, dan 28hb November 2023 supaya diterima dan disahkan.

Dengan demikian, sekarang saya kemukakan cadangan tersebut bagi diundi.

AHLI-AHLI YANG BERHORMAT YANG BERSETUJU, KATA “SETUJU”, AHLI-AHLI YANG TIDAK BERSETUJU, KATA “TIDAK.”

Dipersetujukan.

Peringatan Persidangan Kali Kedua (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Pertama, Dewan Negeri Kelantan Kelimabelas yang telah diadakan pada hari-hari Rabu, Khamis, Ahad, Isnin dan Selasa 08, 09, 12, 13 dam 14 JamadilAwal 1445H bersamaan 22hb, 23hb, 26hb, 27hb, dan 28hb November 2023 diterima dan disahkan.

[ PERINGATAN PERSIDANGAN KALI KEDUA (BELANJAWAN), BAGI TEMPOH PENGGAL PERTAMA, DEWAN NEGERI KELANTAN KELIMABELAS DISAHKAN]

[ SETIAUSAHA MENGANGKAT TEKS PERINGATAN TERSEBUT KEPADA YB DATO’ SPEAKER ]

Titah Ucapan D’rajaAddress / budget

Setiausaha

Susunan Urusan Persidangan Yang Ketiga, Titah Ucapan D’Raja.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya menerima surat dari Yang Berhormat Dato’ Perwira Raja Pengelola Istana D’Raja semalam pada 22 Syaaban 1445 bersamaan 03 Mac 2024 memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke V tidak berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Kelimabelas Tahun 2024 atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah menitahkan supaya titah Ucapan D’Raja hendaklah dibacakan oleh Yang Amat Berhormat Ustaz Dato’ Panglima Perang Menteri Besar. Menurut Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan dibawah Perkara 42 Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah menitahkan kepada Dewan Negeri dan bolehlah menghantar perutusan-perutusan kepadanya. Untuk itu saya persilakan Yang Amat Berhormat Ustaz Dato’ Panglima Perang Menteri Besar Kelantan untuk membacakan titah ucapan.

ﺑﺮﻛﺎﺗﻪ و ﷲ ﲪﺔ ور ﻋﻠﻴﻜﻢ م ﻟﺴﻼ ا

ﻟﺮﺣﻴﻢ ا ﻟﺮﲪﻦ ا ﷲ ﺑﺴﻢ

Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, segala puji dan syukur, Beta rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, yang telah melimpahkan rahmat dan kurnianya, memungkinkan Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun Dua Ribu Dua Puluh Empat (2024) dapat bersidang pada tahun ini.

Selawat dan salam kita persembahkan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallah 'Alaihi Wassalam, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat dan para pengikut Baginda hingga ke akhir zaman.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Beta menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Haji Nassuruddin bin Haji Daud di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Kelantan yang Beta percaya pelantikan tersebut akan membawa kepada kestabilan dan kemakmuran negeri ini.

Beta juga menzahirkan titah tahniah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri atas pelantikan Yang Berhormat sekalian. Suka untuk Beta mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri ini tentang tanggungjawab besar terhadap rakyat dan mencari jalan terbaik dalam memastikan kemakmuran di negeri Beta.

Pada kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, mantan Menteri Besar Kelantan dan saf kepimpinan terdahulu atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh pentabiran sebelum ini. Semoga era “Merakyat Membangun Bersama Islam” di bawah kepimpinan terdahulu dapat diteruskan melalui strategi “Penghayatan Membangun Bersama Islam”. Dalam memastikan ketinggian agama Islam terus terpelihara, Beta menggesa kerajaan Beta terus memperkasa dan mempertahankan perundangan dan institusi syariah negeri.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta amat bersimpati dengan rakyat Beta yang telah ditimpa bencana banjir baru-baru ini. Untuk itu, suatu penyelesaian yang komprehensif hendaklah dibuat dengan kadar segera. Beta dimaklumkan kemajuan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok Fasa 1 berada pada tahap sembilan puluh dua peratus. Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas kelulusan peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2 dan Sungai Golok Fasa 3, dan Beta berharap agar kelangsungan projek ini dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Beta merasa gembira melihat status pencapaian semasa projek menaiktaraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra adalah mengikut jadual pelaksanaan. Justeru, besar harapan Beta agar perkhidmatan “refueling service” dapat disediakan bagi menambahbaik servis industri penerbangan di negeri Beta. Dengan sokongan jaringan pengangkutan awam bersepadu seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), beta percaya rakyat sejagat bakal menikmati pertumbuhan sosio-ekonomi yang lebih baik. Justeru, besar harapan Beta agar Projek ECRL dapat disambung sehingga ke Rantau Panjang bagi memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan serta mengukuhkan hubungan dua hala di antara negara Malaysia dan Thailand.

Beta juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas kelulusan projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di dalam rolling plan keempat Rancangan Malaysia kedua belas. Selain itu, Beta menyeru agar perhatian dapat diberikan terhadap pelaksanaan Projek Jaringan Jalan Raya Utama di Negeri Kelantan seperti Central Spine Road dan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai yang perlu disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Beta berharap agar pelaksanaan projek-projek tertangguh yang lain seperti Jambatan Pengkalan Kubor – Tak Bai, Jambatan Palekbang – Kota Bharu dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) dapat disegerakan bagi memastikan rakyat beroleh manfaatnya.

Beta dapat melihat usaha yang serius telah diambil oleh kerajaan Negeri mahupun kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan permasalahan bekalan air di negeri ini melalui penyediaan dan penyaluran peruntukan yang khusus. Suka beta berkongsi antara projek bekalan air yang bakal dinikmati oleh rakyat termasuklah pembinaan loji rawatan air di Kampung Manek Urai dan Laloh, Kuala Krai dan Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) berkapasiti lima ratus juta liter sehari di Mukim Joh, Machang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Sukacita Beta mendapat maklum bahawa pembinaan Projek Madinah Al-Salam di Bandar Baru Tunjong, Madinah Al-Riadhah di Bukit Merbau, Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri di Sungai Bagan serta beberapa pembangunan bandar baharu oleh pemaju swasta dilihat akan merancakkan ekonomi negeri ini sedikit masa lagi. Sehubungan itu, beta berharap semua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan boleh bekerjasama dengan lebih erat dan berganding bahu dalam memastikan segala perancangan pembangunan yang sedang dilaksanakan ini dapat dijayakan.

Beta juga dimaklumkan di bawah pakej insentif khas Kelantan, para pelabur yang layak boleh menikmati kadar istimewa pengecualian cukai korporat selama lima belas tahun. Pada masa yang sama, di bawah inisiatif ini pekerja bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan dalam syarikat-syarikat akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak lima belas peratus. Ia adalah sebagai insentif tambahan untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Beta berharap agar perhatian diberikan kepada golongan belia bagi menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan kemahiran dengan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, latihan kemahiran, serta pendekatan teknologi dan digital dalam perniagaan. Justeru itu, kerajaan negeri telah mengeluarkan satu perancangan strategik seiring dengan kemajuan teknologi masa kini iaitu Pelan Tindakan Ekonomi Digital Kelantan dua ribu tiga puluh (2030). Harapan Beta agar pelan ini mampu mengurangkan jurang

digital yang masih tinggi di dalam pentadbiran dan kalangan masyarakat Negeri Kelantan.

Industri Halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada lima ratus bilion ringgit (RM500 Bilion) pada tahun dua ribu tiga puluh (2030), maka wajarlah Negeri Kelantan yang dasar pentadbirannya Membangun Bersama Islam mengambil peluang menjadi antara pemain utama dalam industri halal. Beta dimaklumkan pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan Beta, antaranya menggalakkan usahawan mendapatkan sijil pengesahan halal. Selain itu, beta turut dimaklumkan bahawa kerajaan Negeri ada menyediakan skim mikro kredit Negeri Kelantan sebagai bantuan pembiayaan tanpa faedah kepada usahawan-usahawan mikro di negeri ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada jajahan Kuala Krai dan Gua Musang kerana telah terpilih antara 10 bandar bahagia di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia tahun dua ribu dua puluh tiga (2023). Beta mendapat maklum kesedaran rakyat beta terhadap kesihatan, keceriaan dan kebersihan telah meningkat seiring dengan gerak kerja Pihak Berkuasa Tempatan. pembangunan taman-taman rekreasi yang baharu seperti Taman Awam Hutan Bandar seluas 20 ekar di Madinah Al-Salam serta menaik taraf taman rekreasi sedia ada seperti Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok di Machang, antara contoh usaha daripada pihak kerajaan dalam menyediakan kawasan rekreasi untuk dinikmati oleh rakyat Beta. Beta menyeru kepada Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Beta agar memberi fokus kepada penyelenggaraan taman-taman awam dan tempat-tempat rekreasi agar kemudahan tersebut dapat digunakan dengan selamat oleh rakyat Beta.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta berharap agar projek-projek rumah mampu milik terus dilaksanakan oleh pihak kerajaan agar setiap keluarga di negeri Beta mampu memiliki sebuah kediaman. Mengikut perancangan pada tahun dua ribu dua puluh empat (2024), Kerajaan Beta akan

memulakan Projek Pembinaan Rumah Mampu Milik Bunut Susu, Pasir Mas dan bagi perancangan masa hadapan, kerajaan Beta telah mengenal pasti tapak-tapak yang sesuai di seluruh negeri untuk pembinaan projek rumah mampu milik.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta mendapat maklum kerajaan Beta sejak tahun dua ribu sepuluh (2010) telah membekalkan bantuan beras melalui Skim Al-It’am kepada lebih tiga belas ribu keluarga miskin secara bulanan di seluruh Negeri Kelantan. Beta turut dimaklumkan kerajaan negeri dalam usaha mewujudkan dan mengoperasikan kilang padi dan kilang pemprosesan makanan haiwan di negeri ini untuk memastikan keterjaminan makanan di negeri Beta. Pada hemat Beta, usaha ini amat baik dan sejajar dengan hasrat menjadikan Kelantan sebagai “Jelapang Makanan Negara” berteraskan konsep “Bertani Satu Ibadah” yang menjadi tonggak utama pembangunan sektor pertanian negeri ini.

Beta turut berharap agar kerajaan Beta dapat meneroka bidang tenaga boleh baharu seperti hidrogen. Hidrogen kini dilihat sebagai satu sumber tenaga alternatif yang efektif dan mampu mengenyah karbon dalam sektor tenaga. Ia merupakan sumber lebih bersih kerana tidak mengeluarkan gas rumah hijau. Negeri Kelantan yang kaya dengan sumber air seharusnya memanfaatkan tenaga boleh baharu ini. Selain itu Beta Mendapat maklum bahawa satu pasukan kajian khas bagi mengadakan kajian kebolehlaksanaan mekanisme perdagangan karbon dan hidrogen telah diwujudkan. Justeru itu, Beta berharap agar langkah tersebut dapat memastikan kelestarian alam sekitar dan menjadi salah satu punca hasil baharu kepada kerajaan Beta pada masa hadapan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta sedia maklum tahun dua ribu dua puluh empat (2024) merupakan Tahun Melawat Kelantan, dengan tema family, food and festival. Kelantan mensasarkan seramai sepuluh juta (10 juta) pelawat dijangka berkunjung ke Negeri Kelantan dan bakal menyumbang sekitar empat bilion ringgit malaysia (RM4 Bilion)

kepada sektor perkhidmatan. Beta menyeru kepada semua jabatan negeri dan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan, GLC negeri, dan pihak swasta supaya dapat memainkan peranan masing-masing sekaligus boleh merancakkan lagi industri pelancongan di Negeri Kelantan. Beta juga berharap semua pihak untuk menfokuskan peningkatan imej negeri dalam aspek kebersihan, kesihatan, keselamatan dan kecerian.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta mendapat maklum Negeri Kelantan merupakan negeri pertama mendapat pengiktirafan pensijilan kualiti pengurusan hutan. Kejayaan dalam pensijilan tersebut telah membuktikan bahawa Pengurusan Hutan Negeri Kelantan adalah mengikut garis panduan serta ketetapan yang dibuat oleh badan pensijilan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta menyarankan bagi menyebar luaskan sifat cakna masyarakat di kalangan rakyat Beta. Perkhidmatan sukarela ‘Skuad Kita Cakna’ yang turun ke lapangan menyantuni golongan memerlukan seperti golongan miskin, orang kurang upaya, sakit, warga emas, armalah dan anak yatim, perlulah dirancakkan dalam usaha menuju ke arah negeri berkebajikan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Mengakhiri titah Beta, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala (S.W.T), agar kita semua berada di bawah lindungan rahmat-nya yang berpanjangan, dengan pemerintahan dan pentadbiran yang menjunjung kesucian Al-Qur’an dan Sunnah Rasullullah Sallallah 'Alaihi Wassalam (S.A.W). Dengan lafaz "Bismillahir Rahmanir Rahim" beta merasmikan, Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas tahun dua ribu dua puluh empat (2024).

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Menteri Besar Kelantan di atas ucapan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke V yang dibacakan sebentar tadi. Perbahasan Titah Ucapan akan disambung pada persidangan hari esok bermula jam 09.00 pagi. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya berhasrat untuk menangguhkan persidangan pada hari ini. Marilah kita sama-sama menangguhkan persidangan dewan pada hari ini dengan membaca Tasbih Kaffarah dan Surah Wal’ Asr.

Dewan ditangguhkan dan akan bersidang semula pada hari esok bermula jam 09.00 pagi. Ahli-Ahli Berhormat dan dif-dif jemputan dipersilakan ke Majlis Makan Tengahari di Dewan Bunga Teratai.

Sekian, terima kasih.

[ PERSIDANGAN DEWAN DITANGGUHKAN ]

[ MAJLIS BERSURAI ]