Pahang · 23 July 2018
14th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 13 turns · 3,340 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Mesyuarat Ke-2 Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari Isnin
: 23 Julai 2018
Bersamaan
: 10 Zulkaedah 1439 Hijrah
DOA
Perkara Pertama: Doa.
Al-Fatihah [bacaan dalam bahasa Arab]. Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon dianugerahkan taufik-Mu, dipohonkan menyuluh memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohon doa kami diperkenan. Amin, Amin Ya Rabbal A’lamin.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara kedua : Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-13 pada 20, 21, 22, 27, dan 28 November 2017 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan dan mengesahkan Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 2 Julai 2018 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon izin membawa cadangan bahawa Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-13 pada 20, 21, 22, 27 dan 28 November 2017 dan Peringatan Mesyarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 2 Julai 2018 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon izin menyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, suatu cadangan bagi mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-13 pada 20, 21, 22, 27 dan 28 November 2017 dan Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 2 Julai 2018 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan, telahpun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa-apa pindaan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju sila nyatakan “ya”.
Ya.
Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak”. Tiada. Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan tanpa pindaan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, menurut Perkara 29 Bab 4 Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Titah Diraja. Oleh yang demikian, saya mohon izin untuk mengadap merafak sembah mempersilakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat masuk bersemayam di Dewan ini. Dengan ini, saya menempohkan Dewan ini sebentar.
Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja PahangAddress / budget
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk meneruskan aturan urusan mesyuarat.
Perkara Ketiga: Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG
PEMBUKAAN
Bismillahiramnirahim. Assalamualaikum WBT. [bacaan dalam bahasa Arab], Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya dan inayah-Nya, dapat saya berangkat dan melafazkan Titah Diraja dalam Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Pahang yang Ke-14 pada pagi yang berbahagia ini.
Saya turut bersyukur kerana Pilihan Raya Umum kali Ke-14 telah dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman. Saya menghargai peranan yang dimainkan semua pihak dalam menjayakan Pilihan Raya Umum yang lalu.
Penghargaan juga kepada seluruh rakyat jelata yang telah menggunakan hak dan menunaikan kewajipan untuk memilih sebuah kerajaan bagi pentadbiran negeri. Pada kesempatan ini, amatlah bertepatan bagi saya untuk mengucapkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada bekas Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja Adnan bin Yaakob, yang telah berjaya mengemudi Kerajaan Negeri selama kira-kira 19 tahun dengan begitu cemerlang. (Ahli Dewan menepuk meja). Saya berharap Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja dapat terus menyumbang khidmat baktinya seungguhpun kini pada kedudukan yang berbeza pula. Sukacita juga saya menzahirkan ucapan tahniah kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail, atas pelantikan sebagai Menteri Besar Pahang dan juga kepada sekalian Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang yang baru dilantik. Semoga Kerajaan Negeri saya akan dapat terus meningkatkan kemakmuran negeri, agar rakyat jelata dapat terus hidup dengan penuh sejahtera, insya-Allah.
Kepada sekalian Ahli-ahli Yang Berhormat,
Saya turut ingin mengucapkan tahniah di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh seluruh rakyat jelata dalam Pilihan Raya Umum yang ke-14 tempoh hari. Sesungguhnya, kepercayaan yang diberi itu datangnya bersama dengan amanah yang perlu digalas. Amanah yang diberi oleh rakyat ini bukanlah suatu yang boleh dipersenda dan diabaikan. Kerana itulah, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat ke-27 [Bacaan ayat Al-Quran]. Yang bermaksud, “wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahuinya”. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Sesungguhnya saya berasa sukacita melihat pertumbuhan positif ekonomi negeri Pahang, disumbangkan oleh sebahagian besarnya daripada iklim ekonomi negara yang memberangsangkan. Prospek pertumbuhan ekonomi negara dianggar pada kadar 5.9% bagi tahun 2017, berbanding 4.2% bagi tahun sebelumnya. Pertumbuhan ekonomi yang sihat ini telah membantu Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan agenda pembangunan melalui pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-11 yang kini memasuki tempoh pelaksanaan Rolling Plan yang Ke-3. Saya merasa sangat sukacita dengan kelulusan sebanyak 300 projek yang bernilai RM2.2 bilion pada tahun 2017 untuk negeri Pahang di bawah Rolling Plan Ke-3 ini.
Adalah menjadi harapan saya agar kesinambungan Rancangan Malaysia Ke-11 di negeri saya dapat diteruskan lagi terutamanya berhubung projek-projek yang memberi… yang akan memberi impak terus kepada rakyat jelata. Sehubungan itu, adalah amat bertepatan bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Saya turut menggesa Kerajaan Negeri untuk menyokong usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan seterusnya negeri Pahang yang tercinta ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Pelaburan di negeri Pahang telah meningkat kepada RM24.3 billion pada 2017, berbanding RM16.7 billion pada tahun 2016. Peningkatan pelaburan ini turut dipacu melalui usaha sama di antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Kerajaan Negeri saya. Tanah dan galian serta perhutanan terus menjadi tulang belakang dan penyumbang terbesar kepada hasil negeri. Bagi tahun 2018, kutipan
hasil tanah dan galian dianggar sejumlah RM337.7 juta, manakala hasil perhutanan bakal menyumbang sejumlah RM102.45 juta.
Saya berpandangan, negeri saya ini mempunyai potensi yang cukup tinggi untuk meningkatkan lagi hasil negeri selain bergantung kepada hasil tanah dan galian, serta perhutanan semata-mata. Kerajaan Negeri wajar bersikap proaktif dalam menggalakkan pelaburan swasta terutamanya dalam sektor pembuatan. Selain itu, Taman Teknologi Pahang mempunyai potensi yang tinggi untuk dijadikan hub bagi industri-industri makanan halal, bioteknologi, teknologi maklumat, komunikasi dan agroteknologi. Industri-industri yang telah dikenal pasti antara perniagaan global yang paling pantas berkembang ketika ini.
Peningkatan pelaburan dalam projek-projek berimpak tinggi dan pertumbuhan industri-industri ini kelak, bukan sahaja akan dapat meningkatkan hasil negeri, malahan ianya turut berupaya mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat saya. Misalnya, pembinaan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), bakal mewujudkan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan baru. Bagi merancakkan lagi pelaburan, adalah wajar bagi kerajaan saya untuk turut membangunkan infrastruktur negeri. Melalui perancangan yang teliti dan peningkatan infrastruktur yang berterusan, Pelabuhan Kuantan berpotensi menjadi pelabuhan utama di Wilayah Pantai Timur dan menjadi gerbang utama ke Asia Pasifik.
Disamping itu, pembinaan laluan kereta api East Coast Rail Link (ECRL) akan meningkatkan pula saling hubungan kawasan-kawasan ekonomi dan perindustrian dari Pelabuhan Kuantan hingga ke Tumpat di Kelantan dan Pelabuhan Klang di Pantai Barat. Sehubungan dengan ini, saya mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula kos pembinaan laluan kereta api ini dan saya berharap, dengan terbinanya laluan kereta api ini kelak, lebih banyak kawasan pertumbuhan ekonomi yang bakal diwujudkan, Insya-Allah.
Selain itu, kerajaan saya juga wajar memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan penternakan yang turut berpotensi tinggi dalam meningkatkan hasil negeri. Ianya juga adalah selari dengan hasrat negara untuk memaksimakan pendapatan melalui sektor ini. Sehubungan itu, saya inginkan semua pihak berganding bahu dalam memastikan sektor pertanian dapat berkembang pada kadar 3.6%. Untuk mencapai hasrat ini, kerajaan saya wajar menggalakkan penggunaan teknologi yang mampu meningkatkan produktiviti pertanian dan penternakan.
Saya ingin melihat negeri Pahang menjadi sebuah negeri pengeluar makanan, hasil ternakan yang utama di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada usaha untuk mendapat mencapai matlamat membekalkan bahan makanan yang cukup untuk keperluan negara.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Penerokaan sumber-sumber hasil yang baru secara tidak langsung akan memelihara alam sekitar, kerana ianya akan berupaya untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil semulajadi semata-mata. Tidak dinafikan bahawa sektor perhutanan boleh membekalkan sumber kayu-kayan yang tinggi nilainya. Namun demikian, aktiviti pembalakan yang tidak terkawal boleh membawa kepada kemusnahan hutan. Bagi memelihara dan mengurus khazanah hutan negeri, saya ingin menyeru Jabatan Perhutanan Negeri untuk memperkasakan amalan pengurusan hutan secara berkekalan ataupun sustainable forest management. Pendekatan holistik forest
beyond timbers juga wajar untuk diamalkan bagi memelihara khazanah untuk negeri Pahang.
Saya juga menyeru Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program pemulihan ke atas hutan terosot atau degraded forest dan tanah-tanah yang terbiar. Selain itu, ancaman utama kepada pemeliharaan khazanah hutan adalah aktiviti pembalakan haram. Bagi membendung gejala ini, Jabatan Perhutanan Negeri wajar mengguna teknologi masa kini selain daripada bergantung semata-mata kepada kaedah penguatkuasaan tradisional. Penggunaan teknologi Remote Sensing dan Geographic Information System Mapping boleh mengesan aktiviti pembalakan haram dalam masa yang lebih singkat. Aktiviti pemantauan udara dengan menggunakan Unmanned Ariel Vehicle juga boleh melipat-gandakan keberkesanan usaha-usaha pencegahan.
Begitu juga mustahaknya untuk memelihara sungai kerana ia mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan seharian rakyat jelata, terutamanya sebagai sumber air mentah. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya dapati, sikap mengambil mudah terhadap kepentingan sungai sangat jelas dipertontonkan. Sampah sarap dan sisa buangan industri telah disalur terus ke dalamnya seolah-olah tanpa kawalan. Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini, telah mencemari sungai-sungai di negeri Pahang.
Oleh itu, saya ingin menyaran kepada sekalian rakyat agar dapatlah bersama-sama menjaga kebersihan sungai-sungai dan alam sekitar. Kerajaan saya hendaklah mengambil tindakan yang tegas kepada mana-mana pihak yang mencemari sungai serta merosakkan alam semulajadi di negeri Pahang. Saya turut berharap, dalam melaksanakan projek pembangunan, aspek kepentingan pemeliharaan alam sekitar hendahlah turut ditekankan. Sesungguhnya, sama-samalah kita menginsafi bahawa yang kita nikmati pada hari ini adalah tinggalan daripada generasi yang terdahulu dan apa yang kita lakukan hari ini akan menjadi tinggalan kepada generasi yang akan datang. Oleh itu berpada-padalah dalam meneroka sumber alam negeri. Jangan kelak kita menyesal apabila tiada lagi yang tinggal untuk diwarisi anak cucu kita.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Raja dan rakyat berpisah tiada. Denyutan nadi dan keluh resah rakyat jelata seringkali dirasai oleh saya. Kerana itulah saya sangat bersimpati dengan sebilangan rakyat yang masih lagi dihimpit oleh tekanan sara hidup yang meningkat. Saya amat memahami bahawa ekonomi negara masih terkesan oleh keadaan dan suasana ekonomi yang tidak menentu ketika ini. Saya mengambil maklum bahawa kadar kemiskinan negeri telahpun menunjukkan penurunan daripada 0.7 peratus pada tahun 2014, kepada 0.2 peratus pada tahun 2016. Usaha-usaha hendaklah digiatkan agar penurunan kadar kemiskinan negeri dapat diteruskan. Kerana itu, saya sangat berbangga dan mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Pahang di atas pelaksanaan program rumah mampu milik di bawah PR1MA Pahang seperti yang telah diilhamkan oleh mantan Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja Adnan Bin Yaakob pada tahun 2013.
Program PR1MA Pahang adalah aku-janji kerajaan untuk membina 15,000 buah rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun antara 2013 dan 2017 dengan nilai jualan yang rendah berbanding dengan harga pasaran. Saya bersyukur dan berbangga, kerana akujanji ini telah dapat ditunaikan. Sehingga Mei 2018, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 109 projek melibatkan 35,813 buah rumah mampu milik di seluruh negeri. (Ahli Dewan menepuk meja). Dari jumlah... daripada jumlah ini, 8 projek dengan 2,652 buah rumah telah siap diduduki dan 21 projek yang melibatkan
4,983 buah rumah sedang rancak dalam pembinaan. Manakala, sejumlah 30 projek lagi dengan 7,807 buah rumah telah diberi kelulusan kebenaran merancang.
Namun disebalik kejayaan ini, terdapat desas-desus mengenai segelintir kecil rakyat yang memiliki lebih dari sebuah rumah dan menyewakan rumah tersebut sebagai Homestay ataupun rumah persinggahan. Pada hemat saya, ini adalah merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta perlakuan yang tidak adil kepada rakyat yang benar-benar memerlukan rumah mampu milik. Sehubungan ini, saya menggesa Kerajaan saya untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Saya juga merasa sukacita dengan usaha-usaha yang telah diambil khususnya oleh Yayasan Pahang, dalam meningkatkan akses dan kecemerlangan pendidikan rakyat jelata. Saya sedia maklum, peruntukan yang besar telah disediakan bagi usaha-usaha tersebut. Sejumlah RM74 juta telah disalurkan melalui skim Biasiswa Sekolah Rendah (B.S.R) dan RM272 juta melalui skim Biasiswa Sekolah Menengah (B.S.M).
Bagi meningkatkan ekonomi rakyat, agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pelajaran dan Jabatan Tenaga Kerja wajar memainkan peranan dalam membantu kerajaan saya untuk membangun dan memantapkan modal insan di negeri ini. Ke arah itu, usaha-usaha seperti sumbangan bantuan pendidikan dan penyediaan kursus-kursus yang selaras dengan keperluan industri semasa, hendaklah dilipat gandakan lagi. Saya juga menyeru institusi-institusi pengajian tinggi di negeri ini terus menumpukan kepada pembangunan pekerja berkemahiran demi memenuhi keperluan semasa dan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.
Bagi aspek kebajikan rakyat, saya turut sukacita dengan peningkatan liputan bekalan air bersih kepada 98 peratus kawasan-kawasan luar bandar dan 100 peratus ke kawasan-kawasan bandar. Bagi tahun 2018, kerajaan saya telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi tujuan pembinaan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air baru serta menaikan taraf sistem yang sedia ada.
Menyentuh mengenai aspek kesihatan rakyat jelata, saya mengucap terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri yang terus berusaha dalam menambah fasiliti dan meninggikan kualiti perkhidmatan kesihatan di negeri saya. Saya turut berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan pembukaan 2 buah Pusat Hemodialisis... Hemodialisis iaitu di Chemomoi, di Bentong dan di Sungai Koyan, Lipis. Selain itu, perkhidmatan ambulan di seluruh negeri telah turut ditingkatkan melalui penyediaan sebanyak 19 buah ambulan baru.
Adalah menjadi harapan saya agar semua agensi berkaitan dapat mengembleng tenaga bagi mempromosikan kepentingan gaya hidup sihat. Melalui pendekatan ini, taraf kesihatan rakyat akan dapat ditingkatkan dalam masa yang sama akan dapat mengurangkan bebanan rakyat dengan kos perubatan yang semakin meningkat.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Mengenai masyarakat Orang Asli, saya berharap usaha dan langkah mewartakan Tanah Rezab mereka dapat dipercepatkan. Disamping itu, peluang ekonomi untuk Orang Asli hendaklah juga diusahakan. Orang Asli tidak lagi boleh mengamalkan kehidupan seperti dahulu, bahkan mereka mesti menyesuaikan diri dengan peredaran
masa. Adalah wajar bagi kerajaan saya untuk tidak mengabaikan kepentingan Orang Asli berterusan meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Agama Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Selaku Ketua Agama Islam, saya inginkan ajaran Islam dijadikan sebagai panduan dalam semua urusan pentadbiran dan pembangunan di negeri saya.
Pendidikan agama juga adalah tidak kurang pentingnya. Maka, adalah wajar bagi Jabatan Pelajaran Negeri untuk meningkatkan kerjasama bagi menambah-baik dan membangunkan Sekolah-sekolah Agama Rakyat di negeri saya. Usaha juga perlu ditingkatkan bagi memperkasa Mahkamah Syariah dan Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri. Bagi mencapai hasrat ini, satu kajian khusus wajar dilaksanakan segera.
Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian bangsa dan agama. Semua rakyat jelata adalah bebas untuk mengamalkan agama yang dianuti mereka. Namun demikian, kebebasan ini tidaklah termasuk kebebasan untuk mencampuri urusan agama lain. Nasihat saya, kita hentikanlah perdebatan berhubung sebarang isu-isu yang melibatkan sensitiviti agama. Perdebatan yang berterusan hanya kelak mengundang padah kepada keharmonian negeri yang tersayang ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Saya berasa amat sukacita, kerana dalam tempoh tidak sampai 100 hari pemimpin Kerajaan Negeri; Orang Tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, telah sedikit sebanyak membuat beberapa keputusan penting yang berkaitan rakyat.
Antaranya ialah penurunan kuasa daripada Menteri Besar atau Pihak Berkuasa Negeri kepada Pentadbir Tanah Daerah, bagi kelulusan kebenaran pindah milik tanah dan gadaian tanah. Bagi urusan pindah milik antara Waris Qadim, kelulusan boleh diberikan dalam tempoh 1 atau 2 hari sahaja. Manakala, urusan pindah milik selain Waris Qadim dan antara berlainan bangsa, kelulusan boleh diberikan dalam tempoh 10 hari.
Selain itu, saya dimaklumkan bahawa semua pemotongan atau diskaun yang diberi ke atas permohonan mengurangkan premium tanah, mestilah mengikut kadar yang berpatutan. Ianya melibatkan permohonan bagi tanah-tanah kerajaan yang baru dilulus dan juga semua urusan berkaitan tukar syarat tanah. Dengan ketegasan baru ini saya amat berharap, ia dapat menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, insya-Allah.
Saya juga ingin mengingatkan kerajaan saya, serta semua penjawat awam dan penjawat di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri agar sentiasa memegang amanah dan mengamalkan prinsip integriti yang tinggi. Amalan urus tadbir yang baik, akauntabiliti dan budaya kerja yang berkualiti, akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, serta semua
jentera-jentera Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan bagi menjaminkan keamanan, kemajuan dan kesejahteraan negeri dan rakyat saya.
Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin berpesan agar menjadikan Dewan Yang Mulia ini sebagai tempat untuk berkongsi. Untuk berkongsi kebijaksanaan dan bukannya tempat untuk beradu kekuatan.
Masa depan negeri dan rakyat jelata bukan lah sesuatu yang boleh diadu-domba. “Dayung sudah di tangan dan perahu sudah di air;” maka ayuhlah mendayung seiringan bagi mengemudi negeri Pahang ke arah lebih kecemerlangan.
Mengakhiri titah, saya berdoa semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada rakyat dan negeri Pahang Darul Makmur.
Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Ahli Dewan menepuk meja].
Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pahang menempohkan mesyuarat
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat.
Perkara Keempat: Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pahang menempohkan mesyuarat.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Menjunjung kasih Tuanku.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dengan sempurnanya Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang sebentar tadi, maka sukacita saya menempohkan Mesyuarat Dewan ini kepada hari Selasa 24 Julai 2018 bersamaan 11 Zulkaedah 1439 Hijriah mulai jam 9.30 pagi.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang mohon membaca doa.
SAHIBUS SAMAHAH MUFTI NEGERI PAHANG
Al-Fatihah. [Bacaan ayat Al-Quran]. Bismillahirahmannirahim. [Bacaan dalam Bahasa Arab] Ya Allah Ya Latif, Ya Hafiz, Maha Suci Allah Yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagi-Nya dan segala pujian adalah kepunyaan-Nya dan Dialah Tuhan yang maha berkuasa ke atas sesuatu. Sesungguhnya kami memohon limpahan rahmat-Mu Ya Allah, di Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 pada pagi yang penuh keberkatan ini.
[Bacaan dalam Bahasa Arab] Jadikanlah perhimpunan kami di Dewan Yang Mulia ini usaha yang diterima, amal soleh yang dimakbulkan, perancangan yang tidak merugikan dan dosa yang diampuni, dan janganlah Engkau Ya Allah, biarkan
perpecahan dan perselisihan diantara kami melainkan Engkau perkukuhkan perpaduan antara kami. Dan janganlah Engkau biarkan segala hajat, maslahah dan keperluan rakyat dan negeri ini melainkan Engkau perkenankan serta pemudahkan segala urusannya. Ya Allah, lindungilah Negeri Pahang Darul Makmur daripada kemunduran, kejahilan dan kemiskinan.
Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah [Bacaan dalam Bahasa Arab], kurniakanlah Negeri Pahang supaya dikurniakan maju jaya dibawah pemerintahan Sultan kami. Sultan Pahang sebagai Ketua Agama Islam dan Raja pemerintahanan kami yang dikasihi dan jadilah kami rakyat yang taat kepada perintah dan larangan-Mu dan setia kepada raja pemerintahan kami. Mudah-mudahan Negeri Pahang Darul Makmur dikurniakan keberkatan, kemakmuran dan maju jaya dibawah pemerintahan baginda. Dengan agamamu didaulatkan serta selamatkan daripada segala ancaman bala bencana, wabak penyakit dan selamat dari kekacauan dan huru-hara.
Ya Allah, Ya Latif, Ya Hafiz, kami bermohon barang dipelihara dan diredhai oleh-Mu, apalah kiranya Kau memuliakan taufik hidayah dan inayah, kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dengan dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan, dilanjutkan usia, berada dalam sihat walafiat serta sentiasa dalam pemeliharaan-Mu Ya Allah, bertambah iman dan takwa bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom. Kami juga memohon Ya Allah, supaya dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan, dilanjutkan usia berada dalam sihat walafiat serta sentiasa di dalam pemeliharaan-Mu Ya Allah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda, Putera Puteri Cucunda dan Kerabat, para pemimpin Alim Ulamak, muslimin muslimat, serta seluruh rakyat jelata, sentiasa berada dalam keselamatan dari segala bencana dengan mendapat rahmat keredhaan dan keampunan dari-Mu Ya Allah. (Bacaan ayat Al-Quran)
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat meninggalkan Majlis.
[Persidangan ditempohkan jam 10.34 pagi]