Pahang · 18 November 2019
14th Assembly, 2nd session, 3rd meeting · 133 turns · 17,281 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari Isnin
: 18 November 2019
Bersamaan
: 21 Rabiulawal 1441 Hijrah
Masa
: 9.30 pagi
Bacaan doa.
DOA
Al-Fatihah [bacaan al-Quran]. [Ayat al-Quran]. Segala puji bagi Allah, dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan Taufik-Mu, dipohonkan menyuluh memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar-tukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohon doa kami diperkenan. Amin, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Pengesahan Peringatan Mesyuarat
Perkara Pertama: Pengesahan Peringatan Mesyuarat.
Pengesahan Peringatan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 19 Ogos 2019 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon izin membawa cadangan bahawa Peringatan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 19 Ogos 2019 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan, disahkan.
Yang Berhormat Yang di-Pertua,
saya mohon izin menyokong cadangan tersebut.
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, soalannya ialah suatu cadangan bagi mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang yang Ke-14 pada 19 Ogos 2019 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan, telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa-apa pindaan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju sila nyatakan setuju.
Setuju.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju, sila nyatakan tidak. Tiada. Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.
(YB. Yang di-Pertua Dewan menandatangani pengesahan minit mesyuarat).
Pertanyaan Dan JawapanQuestions
Perkara Kedua: Pertanyaan Dan Jawapan
[Ayat al-Quran]. Assalamualaikum WBT. Selamat pagi dan salam sejahtera. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengangkat setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. dengan izin-Nya, kita semua dapat menghadiri Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 di Dewan Negeri Pahang pada pagi yang berbahagia ini.
Saya lihat Ahli-ahli Yang Berhormat kelihatan segar, ceria, sihat walafiat dan sentiasa bersemangat untuk terus berkhidmat pada bangsa dan tanah air. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, mengikut Bilangan 2, 21, 22 dan 23 dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat, Standing Order, Yang di-Pertua boleh menetapkan kerusi bagi tiap-tiap ahli dan boleh mengubah ketetapan ini dari masa ke semasa sebagaimana yang baik pada pertimbangan saya. Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat rasa selesa dan terus dapat menyumbang kepada Dewan Yang Mulia ini. Baiklah, untuk urusan seterusnya saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari Padang Tengku untuk mengemukakan pertanyaan.
Assalamualaikum WBT. Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya nak mulakan soalan ini dengan pantun.
Pagi-pagi pergi ke kedai,
Sarapan pagi sambil bersantai,
Tahniah BN menang di Tanjung Piai,
Pertanyaan saya membuka tirai.
[Berdasarkan laporan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA) Kementerian Luar Bandar, daerah Lipis menduduki tangga ke-21 dalam senarai daerah termiskin negara dan paling miskin di negeri Pahang. Mohon Kerajaan Negeri menyatakan apakah perancangan khusus dan projek-projek berimpak tinggi yang akan dibawa ke daerah Lipis dalam tempoh 5 tahun ini bagi mengimbangi pembangunannya agar seiring dengan daerah-daerah lain.]
Berpantun ya.
Assalamualaikum WBT. Selamat pagi dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Saya juga ucapkan terima kasih pada ADN Padang Tengku kerana bertanyakan soalan nombor satu dan memulakan mukadimahnya dengan pantun dengan menyebut Tanjung Piai milik Barisan Nasional dengan kemenangan yang begitu berjaya sekali. Tahniah kepada semua jentera Barisan Nasional. [Ahli Dewan menepuk meja]
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Berhubung dengan soalan daripada ADN Padang Tengku yang bertanyakan, yang menyatakan bahawa Lipis menduduki tangga ke-21 dalam senarai daerah termiskin negara dan er… paling miskin di negeri Pahang. Saya ingin mengambil kesempatan di sini bahawa Kerajaan Negeri Pahang sangat prihatin terhadap pembangunan seluruh kawasan ataupun di daerah negeri Pahang ini dan setiap rancangan pembangunan negeri telah disusun mengikut Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 ataupun RSN2050 dan lain-lain dokumen perancangan yang ada, meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan kawasan. Untuk makluman er… ADN daripada Padang Tengku juga, bagi perancangan di setiap daerah Rancangan Tempatan Daerah ataupun RTD Lipis 2020 telah dirangka pada tahun 2012 lagi sebagai panduan perancangan pembangunan di daerah tersebut.
Bagi merancakkan lagi pembangunan di daerah Lipis, dalam Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak 18 projek telah diluluskan di daerah Lipis yang keseluruhannya bernilai RM715 juta dan antara projek berimpak tinggi yang telah diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini adalah Pembinaan Projek Central Spine Road (CSR) dan pakej terbaru yang akan dilaksanakan adalah Seksyen 3J: Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku ke Kampung Relong, Kuala Lipis dan sebahagian Seksyen 4A yang bernilai RM389 juta.
Projek ini meliputi kerja-kerja membina jalan baru berkembar empat lorong, dua hala sepanjang 6.95 kilometer dari Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong. Projek
ini telah pun bermula pembinaannya pada 26 September 2019 dan dijangka siap pada 26 September 2022. Projek Central Spine Road ini telah memberi impak yang besar kepada connectivity atau jaringan perhubungan di daerah Lipis dan juga memberikan kesan limpahan ekonomi yang sangat besar. Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sedikit sebanyak telah menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk di daerah Lipis ini.
Ini dapat dilihat daripada peningkatan pendapatan isi rumah. Melalui rekod pendaftaran dalam Sistem eKasih, terdapat peningkatan rekod terkeluar daripada Kategori Miskin dan Miskin Tegar dari tahun 2016 sehingga 2018 iaitu 1,155 Ketua Isi Rumah (KIR) pada tahun 2016, 1,321 Ketua Isi Rumah (KIR) tahun 2017 dan 1,380 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi tahun 2018 yang telah terkeluar daripada Kategori Miskin dan Miskin Tegar.
Untuk makluman Yang Berhormat daripada Padang Tengku er… angka yang saya katakan tadi adalah sumbernya daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pahang. Manakala bagi pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah ataupun median di daerah Lipis turut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5% daripada tahun 2014 sehingga 2016. Pada tahun 2014 pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah yang direkodkan adalah RM2,838.00 manakala bagi tahun 2016 adalah RM3,168.00. Ini juga… sumber ini juga diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat.
Soalan tambahan Dato’ Sri… saya nak merujuk kepada apa nama… peranan yang dimainkan oleh ECERDC ya. Satu badan yang ditubuhkan bagi er… merancang… menjana pembangunan di Pantai Timur dan juga di Mersing. Persoalan saya ialah kita di Lipis ini tak nampak sangat projek-projek yang dimainkan oleh… oleh er… ECER ini. Kalau tak silap saya ada 3 tadi Dato’ er… apa… Sri MB sebut. CSR, satu lagi projek herba. Kemudian satu lagi er… empower. Itulah 3 projek itu. Jadi persoalan yang saya nak kemukakan yang pertamanya ialah er… peranan. Kita nak mohon, nak minta dan apakah peranan ECER terhadap pembangunan Lipis? Itu yang pertama.
Yang keduanya ialah saya nak bertanya tentang er…program-program kejayaan program-program… projek-projek er… membasmi kemiskinan. Kita tahu ada banyak projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan umpamanya kita ada projek PPMS, Projek Pembangunan Masyarakat Setempat, PPP Projek Pemb…Peningkatan er… Program Peningkatan Pendapatan, Agropolitan, Rimbunan Kasih, Amanah Ikhtiar, Satu Azam. Tapi kita tak nampak sangat kejayaan kepada projek-projek ini. Dan apa yang kita tahu di antaranya ialah disebabkan oleh kemiskinan sikap yang ada pada peserta-peserta, yang mereka tak mahu keluar daripada PPRT umpamanya. Jadi soalan saya ialah apakah er… peranan dan perancangan pihak kerajaan bagi er… membangunkan dalam kontek pembangunan insan umpamanya bagi mengatasi masalah kemi… kemiskinan sikap ini? Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Saya ucapkan terima kasih kepada ADN Padang Tengku yang bertanyakan 2 soalan. Yang pertama ialah berhubung dengan peranan ECER dan yang kedua apakah peranan dan tanggungjawab. Saya fikir soalan ini ada kaitan walaupun ada terkeluar tajuk sikit daripada Institut Kemajuan Desa Kementerian Luar Bandar, terus pergi kepada ECER, East Coast Economic Region ataupun Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, ECER ini telah pun kalau kita lihat, dia secara berperingkat-peringkat. Sebagai contohnya Menara Teruntum yang akan kita rasmikan pada tahun depan. Kemudian Titik Tengah Temerloh, kemudian beberapa lagi projek pertanian, itu adalah hasil usaha daripada ECER dan ECER ini sebelum mengemukakan permohonan mereka kepada Kerajaan Persekutuan, akan dibincangkan dengan peringkat negeri dulu. Oleh sebab er… perkara ini secara peringkat-peringkat dan yang terkini ialah semasa mesyuarat terakhir saya dengan ECER, kita telah membincangkan supaya pembangunan-pembangunan ditumpukan di kawasan-kawasan luar bandar termasuklah di kawasan Orang Asli.
Dan insya-Allah pada hari Rabu ini, saya akan bermesyuarat dengan Perdana Menteri dengan ECER, semua Menteri Besar terlibat, kita akan finalize apa yang telah Kerajaan Negeri bentangkan. Maknanya peranan ini ada, tetapi untuk kita melihat secara overnight apa orang putih kata buat hari ini esok nak buat, tidak. Kerana dia makan masa yang… yang lama dan kita harus ingat juga bahawa kemiskinan ini adalah satu perkara yang sangat sub… subjektif. Bermaknanya kadang… kadang-kadang terpulang kepada individu tersebut untuk macam mana dia menguruskan kewangan dan sebagainya. Tetapi apa yang penting, melalui angka yang saya telah jawab tadi, di daerah Lipis ini, ketua isi rumahnya telah ramai terkeluar daripada garis kemiskinan.
Dan saya juga ingin nyatakan di sini bahawa usaha-usaha untuk er… mengatasi kemiskinan ini supaya mereka keluar daripada ke… kepompong kemiskinan ini akan terus diusahakan oleh Kerajaan Negeri dan insya-Allah dalam bajet saya pun, ada saya sentuhkan bagaimana kita untuk meningkatkan ekonomi rakyat di negeri Pahang supaya sekaligus akan mengurangkan kadar kemiskinan di negara kita. Jadi peranan dan tanggungjawab tadi sepertimana yang saya katakan tadi sudah tentulah kita memberi fokus kepada… untuk meningkatkan kehidupan masyarakat rakyat di negeri Pahang ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Kita pergi kepada…
Soalan tambahan boleh?
Sila.
Er… terima kasih Dato Yang di-Pertua. Kalau sekiranya daerah Lipis dikenali sebagai menduduki tangga ke-21 antara daerah yang termiskin di negara, saya cuma nak tahu sikit kalau ada figure lah waktu ini, bagaimana kedudukan Kuantan dan juga Bera. Dua… dua tempat ini. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Satu soalan yang baik tapi saya tidak boleh jawab sekarang sebab tidak ada ranking dia. Tetapi insya-Allah saya akan minta er… BPEN akan mengemukakan senarai apa ni… semua daerah di negeri Pahang ini menduduki tangga yang ke… yang ke berapa. Tangga ke-21 ni kira tak teruk sangat la Lipis ni. Jadi kita akan kemukakan kemudian Yang Berhormat ya. Terima kasih.
Yang Berhormat, sila wakil daripada Ketari. Soalan berikutnya.
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera, Tuan Yang di-Pertua, saya nak balas pantun sikit boleh…
Nak balas er…
… pantun tadi nak balas sekejap.
…Padang Tengku?
Satu dua tiga empat, Lima enam tujuh lapan, Tanjung Piai, BN dapat, Tahniah dan ucapan daripada Pakatan Harapan.
Tuan… Tuan Yang di-Pertua, saya mohon izin tanyakan soalan nombor 2.
[Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk menangani isu korek pasir haram ini dari berterusan?]
Saya jawab pantun dalam ucapan bajet Tuan Yang di-Pertua ya. (Ahli Dewan ketawa) Saya ucapkan terima kasih kepada YB daripada Ketari yang bertanyakan soalan adakah pengambilan pasir sungai secara haram di kawasan Ketari dan apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah ini. Pertama sekali saya nak bagitahu kepada Yang… Yang Berhormat, berdasarkan rekod dan pemantauan oleh Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong, tiada aktiviti pengambilan pasir secara haram di kawasan Ketari.
Bagi tahun 2019 cuma terdapat 20 pengusaha ataupun operator pasir yang masih aktif yang telah diberi kelulusan di bawah Seksyen 69 Kanun Tanah Negara iaitu Lesen Pendudukan Sementara ataupun LPS dan permit yang disatukan atau turut dikenali sebagai LPS Bercantum Permit 4B bagi menjalankan operasi pengambilan bahan batuan di daerah Bentong. Daripada jumlah keseluruhan, 20 Lesen Pendudukan Sementara yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri, sejumlah 5 LPS telah diluluskan melibatkan kawasan Ketari. 2 daripada LPS yang diluluskan melibatkan pengambilan pasir sungai daripada Sungai Bentong, 2 melibatkan pengeluaran pasir sungai daripada Sungai Benus, dan 1 lagi dikeluarkan untuk pengambilan pasir sungai daripada Sungai Kelau, Mempaga.
Pemantauan oleh pihak Kerajaan Negeri terhadap aktiviti pengambilan bahan batuan, melalui jabatan atau agensi yang berkenaan seperti Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah dilakukan secara berterusan dengan kerjasama orang awam. Untuk makluman Yang Berhormat juga sepanjang tahun 2019 sebanyak 4 kes pengambilan bahan batuan dan satu kes pelanggaran Enakmen Mineral 2001 telah dikesan dan diambil tindakan peng… penguatkuasaan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara dan Enakmen Mineral 2001 di daerah Bentong.
Kesemua kes yang dinyatakan dalam peringkat penyediaan kertas siasatan untuk dibawa ke pihak Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Namun begitu tiada kes pengambilan bahan batuan secara haram atau secara tidak sah dikesan oleh pihak berkuasa melibatkan kawasan DUN Ketari setakat ini. Bagi tujuan memperkasakan dan memperkukuhkan lagi aktiviti pemantauan dan tindakan penguatkuasaan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang. Unit ini berfungsi sebagai One Stop Centre iaitu tindakan penguatkuasaan supaya dapat dilakukan dengan lebih bersepadu merangkumi pelbagai ruang lingkup, punca kuasa dan bidang kuasa penguasaan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, menyeluruh dan berkesan.
Soalan tambahan. Er… Yang Amat Berhormat, er… tadi Yang Amat Berhormat ada maklumkan mengenai 20 lesen telah dikeluarkan. Itu hanya untuk daerah Bentong sahaja ataupun keseluruhan negeri Pahang?
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, di daerah Bentong sahaja.
Terima kasih yang berhormat.
Soalan tambahan.
Ya.
Er… Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Sahabat saya dari Ketari menanyakan er… pengambilan pasir sungai secara haram tapi soalan saya adalah mengenai peng… pengusaha pasir sungai di Pahang yang ada permit yang menghadapi masalah pembaharuan permit pada tahun ini. Saya difahamkan ada beberapa daerah meng…er… menghadapi masalah ini dan saya mohon penjelasan daripada kerajaan Negeri apakah masalah sebenar dan apakah perkembangan terkini? Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
ADN daripada Triang membangkitkan masalah, yang saya tahu tidak ada masalah yang besar, jadi apa masalah dia? Boleh YB beritahu tak?
Sebagai contoh di daerah Bera, beberapa pengusaha yang er… dahulunya dapat memperba… memperbaharui permit pada bulan Januari, tetapi pada tahun ini perlu tunggu er… selama enam bulan. Jadi selama enam bulan mereka tidak dapat beroperasi dan juga terpaksa membelanjakan menanggung kos gaji pekerja yang tidak bekerja. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Saya tidak fikir itu satu masalah yang besar, kerana baru-baru ini Kerajaan Negeri ada bercadang dan telah pun meluluskan penubuhan Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPBB). Jadi dalam masa penubuhan tersebut, ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan sebagainya. Dan er… pada peringkat permulaan sebagai contohnya, PPPB ini akan er… menguruskan semua pasir di negeri Pahang ini. Tetapi setelah kita bincang balik kita dapati er… hanya Pengurusan Pasir Pahang ni… hanya ditumpukan bagi kawasan Pekan dan Rompin sahaja dan bagi daerah-daerah lain tidak terlibat. Jadi mungkin ada sedikit kekeliruan di situ, dan ini adalah perkara biasa Yang Berhormat Yang di-Pertua. Enam bulan bagi saya tak lama Yang Berhormat, sekejap sangat tu. Kira cekap dah tu Kerajaan Negeri kalau enam bulan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Kita pergi kepada soalan berikutnya. Jemput Wakil dari Bilut.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor 3.
[ Hutan Lipur Chamang Bentong.]
a) Pada 2019, 3 kes lemas yang meragut nyawa telah berlaku di Hutan Lipur Chamang Bentong. Adakah Kerajaan Negeri akan mengambil apa-apa langkah untuk menangani tragedi ini?
b) Adakah Hutan Lipur Chamang Bentong terbuka kepada orang awam setiap hari selepas kaunter pembayaran didirikan dan orang awam dikenakan bayaran masuk?
c) Sila nyatakan jumlah pendapatan Hutan Lipur Chamang Bentong sejak tahun 2017. Bagaimanakah kerajaan negeri membelanjakan pendapatan tersebut?]
Yang Berhormat Yang di-Pertua,
Taman Eko Rimba Chamang adalah salah satu daripada tempat yang menjadi daya tarikan pengunjung ke daerah Bentong. Kawasan ini amat terkenal dengan Air Terjun Sungai Perting dan seringkali menjadi lokasi orang awam menjalankan aktiviti rekreasi. Walau bagaimanapun terdapat kejadian iaitu lemas yang telah meragut nyawa ya di Taman er… Eko Rimba ini. Antara perkara-perkara yang… inisiatif yang kita telah ambil dan kita juga maklum bahawa kejadian ini berlaku adalah disebabkan sebahagian daripada pengunjung mereka tidak… tidak mematuhi peraturan yang telah kita tetapkan.
Walau bagaimanapun kita memahami bahawa kita tidak mampu untuk mengawal, mengawal keseluruhannya. Tetapi beberapa langkah pencegahan tambahan yang kita ambil seperti:-
1. Memasang sistem siaraya/pembesar suara untuk memberi amaran secara lisan dan berterusan kepada pengunjung yang memasuki kawasan larangan itu. Maksudnya jika pengunjung memasuki kawasan larangan, maka kita ada pembesar suara iaitu speaker, loudspeaker supaya tahu bahawa… dengan izin, bahawa kawasan tersebut kawasan larangan.
2. Memasang pagar anti-climb dan barb-wire serta papan tanda bahaya di lokasi laluan masuk ke kolam tersebut;
3. Membina pondok pengawal keselamatan lifeguard berhampiran dengan lokasi air terjun;
4. Menaik taraf pintu masuk utama supaya tidak mudah dirosakkan dan dicerobohi selepas waktu Taman Eko Rimba ditutup, iaitu kita hanya buka waktu 8.00 pagi hingga 5.00 petang; dan
5. Menempatkan pengawal keselamatan di pintu masuk utama mengawal keselamatan selepas waktu lawatan.
Yang Berhoramat Yang di-Pertua,
bagi soalan kedua, iaitu kita sememangnya mengenakan caj atau fee iaitu pintu masuk er... bagi kanak-kanak adalah er... sebanyak RM1.00 seorang. Saya ingat kita kena kaji balik ni. RM1.00 ni, besar… mahal sangat ke? Kita kaji balik. Seringgit tak ada dah seringgit ni. Tak apa, ini tak apa. Setakat ini seringgit. Tetapi kalau kita kaji ni, tadi Wakil daripada er... ADN daripada Lembah Bilut dia akan protest pasal naik.
Yang keduanya untuk dewasa hanya RM3.00. Nasi lemak pun RM5.00 dah sekarang ni. Bagi pengunjung luar negara ataupun er... ini bagi foreign tourist, kita kenakan
RM10.00 seorang, dan saya juga nak maklumkan bahawa er... kita juga er... apa nama terdapat ya, iaitu sebuah syarikat yang mereka nak buat CSR. Itu kita sedang teliti. Dan yang keempatnya, soalan yang seterusnya er... kawasan ini juga ditutup yer, selain daripada apa yang kita kenakan bayaran pemi... bayaran masuk tetapi kawasan-kawasan ini ditutup ya, ditutup iaitu pada hari perayaan dan termasuklah pada hujung tahun iaitu di musim tengkujuh. Saya juga nak maklumkan bagi soalan seterusnya bahawa setakat ini kutipan kita sehingga September 2019 adalah sebanyak RM188,504.00. Terima kasih.
Soalan tambahan.
Ya.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, er... saya terdapat bahawa pintu masuk telah pun ditutup dan tiada pegawai untuk mengutip tiket pada cuti awam ataupun perayaan, er... ini terpaksa, er... apa tu, pelancong terpaksa patah balik bila mereka sampai ke pintu utama tersebut. Adakah Kerajaan Negeri ataupun pihak er… tertentu pertimbang balik er... kita buka semula atau pun buka pada er… apa tu, hari perayaan ataupun cuti awam. Sekian.
Yang Berhormat Yang di-Pertua,
Kerajaan Negeri telah juga mengambil inisiatif untuk kita privaticekan untuk kita swastakan kawasan-kawasan yang sebegini rupa. Kerana jika sekiranya syarikat swasta ataupun pihak swasta yang melaksanakannya, sudah tentulah mereka akan mempunyai er… KPI ataupun ingin mendapat balik pelaburan yang mereka er… laksanakan. Kita akan pertimbangkan. Supaya… kerana setakat ini ianya di bawah jabatan. Terima kasih.
Terima kasih. Kita akan pergi soalan berikut, Wakil Beserah.
[Bahasa Arab]. Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mengemukakan soalan ke-4.
[Kes kebakaran tanah gambut sering berlaku di sekitar Kuantan, Pekan dan Rompin, sila nyatakan;
a) Adakah kerajaan bercadang untuk membangunkan projek agro tani atau ladang hutan di kawasan tanah gambut bagi mengatasi pembakaran terbuka ini?
b) Adakah pihak kerajaan bercadang untuk membina tali air dan sistem pintu air berpusat bagi mencegah kebakaran di sekitar kawasan tanah gambut?]
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Terima kasih rakan saya daripada Beserah yang telah mengajukan soalan berkaitan dengan tanah gambut. Jadi untuk maklumkan sebenarnya tanah gambut ni biasanya dikategorikan sebagai tanah bermasalah kerana ianya mempunyai kandungan organik yang tinggi dan er… kalau mengikut daripada er... kajian saintis tanah, dia mengatakan bahawasanya apa yang ditakrifkan sebagai tanah gambut ataupun dalam bahasa Inggerisnya peak soil adalah tanah yang mengandungi organik yang kadarnya atau pun peratusannya melebihi 35%. Namun er… kita sedia maklum dalam konteks pertanian, tanah gambut yang kita er… selidiki didapati mempunyai kandungan organik iaitu 75 ... melebihi 75%.
Jadi oleh kerana itu, masalahnya ialah tanah gambut ini dengan er… kandungan yang ada er... kandungan organik yang ada ni tinggi dan juga mempunyai er... nutrien-nutrien yang antaranya menggalakkan er... kebakaran iaitu sulfer. Sulfer ini adalah nutrien yang menggalakkan kebakaran kalau sekiranya ada tercetusnya sumber, apilah. Jadi apa yang dibangkitkan oleh rakan saya daripada Beserah ni adalah dua keadaan. Pertama persoalannya ialah kita nak mengawal kebakaran. Yang keduanya menjalankan aktiviti agro. Jadi oleh kerana kandungan organik yang tinggi, tanah gambut ini mempunyai keupayaan untuk memegang. Bahasa Inggerisnya dengan izin, retain air. Jadi air tanah gambut ni maknanya dia boleh memegang kandungan air yang tinggi.
Jadi oleh kerana itu kalau misal contohnya kita nak buat projek pertanian maka kita kena menyediakan sistem saliran. Kalau tidak nanti er… bila berlakunya hujan, jadi tanah ni dia jadi er… mengandungi air yang tinggilah soggy menyebabkan tanaman kita mati. Jadi, ini masalah dia. Jadi untuk buat projek agro kita terpaksa menyediakan sistem saliran yang baik supaya kita dapat menurunkan apa nama… paras air ataupun water table dalam er… tanah ini dan tanaman boleh tumbuh dengan baik. Namun kalau sekiranya kita menurunkan aras air ini ataupun water table ini, dia nya mempunyai kecenderungan kalau sekiranya ada berlaku kebakaran, dia akan merangsang kebakaran, er… ni ada orang kata dia too extreme, dengan izin, er… satu pihak kita hendak gunakan tanah ni untuk pertanian tapi pada masa yang sama dia juga boleh er… mendedahkan keadaan di situ er… dengan bahaya sekiranya berlaku kebakaran.
Jadi untuk menjawab soalan wakil daripada Beserah tadi, memang ada pihak… ini... pertanian melaksanakan kerja-kerja aktiviti pertanian di kawasan-kawasan gambut ini tetapi sepertimana yang saya katakan tadi, dengan memperkenalkan sistem-sistem saliran yang er… lengkap untuk membolehkan tanaman-tanaman yang diusahakan ini tidak musnah apabila berlakunya hujan yang lebat, yang boleh menyebabkan tanaman-tanaman seperti sayur-sayuran dan juga tanaman-tanaman yang sesuai antaranya ialah nenas. Tanah gambut ni dia sesuai untuk tanam nenas. Jadi kalau sekiranya terendam… lama... dia akan mati. Dan usaha ini dibuat bukan untuk menangani masalah kebakaran tetapi untuk memanfaatkan penggunaan tanah bagi pengeluaran makanan.
Yang keduanya ialah bagi menjawab soalan rakan daripada Beserah, tentang apakah usaha kerajaan ataupun sama ada pihak kerajaan ada membina er… tali air ataupun
sistem pintu air berpusat maksudnya ini sistem saliran. Sebenarnya er… melalui Jabatan Alam Sekitar, peruntukan telah disediakan dalam tahun 2018 dan 2019 yang diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membina apa yang dipanggil check dam. Check dam ni maknanya pastikan supaya kandungan air dalam kawasan tersebut tinggi bagi mengelakkan berlakunya kebakaran. Dan er… untuk itu dalam tahun 2018 sebanyak RM882,210.00 telah diperuntukkan kepada Jabatan Alam Sekitar dan peruntukan ini telah diagihkan kepada JPS.
Manakala dalam tahun 2019 sebanyak RM530,000.00 telah diperuntukkan untuk membina er… apa yang dipanggil sebagai check dam dengan izin, ya dan kesemuanya kalau kita lihat misal contohnya di Pekan kita ada 32 check dam yang dibina di Kuantan ada 59 check dam yang dibina dan di Rompin ada 1. Kesemuanya 92 dan juga dibina kolam-kolam takungan untuk membolehkan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil air daripada kolam takungan ini apabila berlakunya kebakaran. Dan sepertimana yang sedia… saya maklumkan tadi iaitu tanah gambut ni dia punya top layer, lapisan atas tu ialah terdiri daripada sulfur. Bawah tu barulah nutrients-nutrients lain. Jadi bila berlaku kebakaran dia tak perlu ada tumbuhan di atas. Dia boleh terus merebak. Tapi kalau ada tumbuhan di atas makna dengan tumbuhan-tumbuhan itu sendiri akan musnah. Jadi itulah penjelasan, terima kasih.
Soalan tambahan, Yang di-Pertua. Terima kasih Wakil daripada kerajaan di atas jawapan yang diberikan, cuma saya ber... saya berharap agar segala permasalahan yang dinyatakan oleh pihak kerajaan itu tadi, kita perlu menilai dan melihat bagaimana kita harus mengawal dan juga mengadakan satu sistem supaya perkara sebegini dapat kita atasi. Kita lihat apapun permasalahan yang timbul, yang pertama kadang-kadang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bertungkus lumus mengawal keadaan kebakaran yang begini sukar untuk dikawal kerana kedudukan muka bumi accessibility dengan izin, ke… tak boleh nak capai ke kawasan tersebut kerana kawasan terlalu jauh ke dalam kemudian kos untuk nak mengendalikan dan mengawal kebakaran ini sangat tinggi selain daripada pencemaran kepada penduduk sekitar.
Jadi sebab itu kita, kita berharap ada satu tindakan yang boleh kita ambil supaya tanah-tanah gambut yang kita kenal pasti ini tadi dapat digunapakai dan diselenggara dengan baik supaya accessibility itu dapat dica… dapat di… di… diberikan apabila berlaku kebakaran pasukan Bomba dan Penyelamat dapat pergi dengan mudah dan dapat mengawal kebakaran juga dengan keadaan yang lebih baik dan selesa. Kadang-kadang kita tengok sendiri bagaimana mereka berusaha ber… berhari-hari duduk dalam hutan gambut tersebut dalam keadaan prasarana yang tidak baik dan juga accessibility kawasan yang terlalu terpinggir, terima kasih.
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Sebab itu kita dari segi aspek pertanian kita memperkenalkan apa yang dipanggil sebagai GAP, iaitu dalam bahasa inggerisnya Good Agricultural Practices dengan izin. Jadi mengikut kaedah ini… ini… pertanian yang baik ini, kita ada pendekatan, pendekatan. Iaitu antara lainnya kaedah-kaedah yang wajar kita aplikasikan bagi mempastikan keadaan alam sekitar tu terjaga. Jadi culprit dengan izin, ini… apa nama er… pelaku yang menjadi penyebab, punca kepada kebakaran ini antara lainnya ialah kerana nak mengurangkan kos iaitu bila terpaksa dia membersihkan kawasan misal contohnya, dia memerlukan kaedah-kaedah tertentu untuk mengelakkan berlakunya
kebakaran. Tetapi oleh kerana antara lainnya kaedah kebakaran terbuka ini adalah lebih murah. Jadi dia membuat ni, pembakaran.
Sebab itu dalam kontek ini mengikutkan Akta Alam Sekeliling 1974, maka dikenakan satu penalty yang besar iaitu mengenakan denda tidak melebihi RM500,000.00 dan juga er… akta ini memperuntukkan juga er… penjara tidak melebihi 5 tahun supaya dapat menjadi usaha pencegahan kepada pelaku-pelaku yang mungkin mempunyai niat yang tidak baik kan, kerana kesannya sepertimana rakan saya daripada Beserah nyatakan Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, iaitu kos untuk menangani permasalahan kebakaran ini jauh lebih besar dan boleh memudaratkan alam sekitar dan sebagainya. Sebab itu dalam konteks ini kita mengambil pendekatan yang serampang dua mata.
Pertama, dari segi kaedah pertanian yang baik kita menyarankan supaya mengamalkan langkah-langkah yang mampan iaitu sustainable ini… development, dengan izin. Yang keduanya pencegahan dari segi alam sekitar di bawah Akta Alam Sekeliling. Sebab itu insya-Allah mudah-mudahan dengan usaha-usaha yang dibuat ini sendiri akan dapat juga memberi... er… mengekang tindakan yang tidak bertanggungjawab bagi mereka-mereka yang memikirkan keuntungan melebihi kepentingan lain. Namun er… untuk mereka-mereka yang memang ikhlas untuk bertani dan sebagainya, maka kita menyarankan supaya mereka turut serta dalam program-program evokasi yang dilaksanakan oleh pihak jabatan sama ada pertanian dan sebagainya bagi mengelakkan berlakunya bencana ekoran daripada tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab. Terima kasih.
Yang Berhormat, jemput Wakil Jengka, bagi mewakili ADN Chenor.
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mewakili Yang Berhormat daripada Chenor. Beliau petang semalam daripada Jeddah, Mekah. Malam tadi sampai, sekarang dalam perjalanan ke Dewan. Sudah melepasi Gambanglah. Insya-Allah sampai sikit lagi. Jadi mera khayal pandra mini ki bhat pun canggih. Dengan izin, insha Allah. Er… soalan nombor lima.
[Isu penyalahgunaan dadah.
a. Berapakah statistik terkini penagih dadah baharu dan ulangan mengikut daerah di Pahang?
b. Apakah kaedah pemulihan penagih dadah sekarang berjaya memulihkan penagih atau sebaliknya?
c. Apakah tindakan kerajaan terhadap 'port' atau sarang-sarang penagih yang kelihatan bebas melakukan aktiviti yang tidak sihat ini.
d. Adakah golongan pelajar sekolah rendah juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah? Kalau ada, apakah tindakan kerajaan menangani masalah ini?]
Terima kasih, Dato’ Sri Yang di-Pertua. Bagi menjawab soalan lima yang dikemukakan oleh Wakil daripada Chenor. Ada empat soalan er… dalam soalan lima ini. Soalan pertama statistik terkini penagih dadah baharu dan ulangan mengikut daerah di Pahang. Er… untuk itu, Kuantan mempunyai 158 kes baru, 82 kes ulang; Temerloh 96 kes baru, 58 kes ulang; Raub 69 kes baru, 126 kes ulang; Pekan 104 kes baru, 63 kes ulang; Maran 82 kes baru, 40 kes ulang; Jerantut 81 kes baru, 41 kes ulang; Rompin 105 kes baru, 68 kes ulang; Bentong 63 kes baru, 31 kes ulang; Lipis 61 kes baru, 42 kes ulang dan Bera 44 kes baru, 23 kes ulang. Yang mana menunjukkan bahawa mengikut daerah-daerah di Negeri Pahang, daerah Kuantan merupakan paling ramai jumlah penagih iaitu seramai 240 orang diikuti Daerah Raub seramai 195 orang dan Daerah Rompin seramai 173 orang. Lampiran data terperinci akan dikemukakan kemudian.
Mengenai soalan kedua, apakah kaedah pemulihan penagih dadah sekarang berjaya memulihkan penagih atau sebaliknya? Ada yang berjaya, ada yang tidak berjaya. Kaedah-kaedah yang dijalankan ialah rawatan dan pemulihan termasuk Program Pembangunan Keluarga, Program Pencegahan Relapse ataupun berulang, Program Latihan Kemahiran Jangka Pendek (AADK) Agensi Anti Dadah Kebangsaan bekerjasama dengan Kolej Komuniti, Program Psikososial, Program-program Keagamaan, Program Integrasi dan Khidmat Masyarakat dan menunjukkan bahawa daripada bulan Januari hingga September 2019 er… 48% penagih dapat dipulihkan dan diletakkan di bawah kriteria kekal pulih.
Untuk soalan tiga, apakah tindakan kerajaan terhadap 'port' atau sarang-sarang penagih yang kelihatan bebas melakukan aktiviti yang tidak sihat ini. Untuk makluman Sidang Dewan daripada tahun 2015 sehingga 2019, pihak Polis Diraja Malaysia telah menjalankan sebanyak 7940 operasi di kawasan-kawasan yang dikenalpasti. Begitu juga pelbagai agensi lain bekerjasama secara bersepadu untuk memantau mana-mana kawasan yang dikenalpasti sebagai port-port penagih dadah ini.
Untuk soalan keempat, adakah golongan pelajar sekolah rendah juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah? Di Negeri Pahang mengikut rekod yang diberi oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang melalui semakan data Unit Pendidikan dan Pencegahan Dadah bermula 1 Januari 2019 sehingga 30 September 2019 mendapati tiada murid sekolah rendah di negeri ini yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia dan semua NGO dan mana-mana pihak di sangat-sangat digalakkan untuk sama-sama menjalankan kempen membanteras gejala dadah di negeri Pahang ini. Terima kasih.
Soalan tambahan.
Soalan tambahan.
Ya, soalan. Teruntum.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
Soalan tambahan saya adalah, bangunan Kompleks Makmur di sebelah bangunan UTC juga menjadi tempat penagih. Saya telah dua, tiga kali bangkit dalam Sidang yang mulia ini. Sampai sekarang masalah tidak selesaikan. Apakah tindakan daripada pihak kerajaan mengatasi perkara ini. Terima kasih.
Bangunan err… Minta ulang, bangunan kompleks…
Mamur…makmur, sebelah UTC.
Makmur oh... saya ingat Mahmud tadi. Kompleks Makmur sebelah UTC. Er… kita akan minta pihak-pihak yang berkuasa untuk menyiasat dan mengambil langkah segera. Terima kasih YB.
Terima kasih, Yang Berhormat.
Tambahan.
Ya.
Soalan tambahan. Berapakah jumlah yang telah dibelanjakan oleh er… untuk program pemulihan dadah ini?
Err… untuk soalan tambahan daripada Ketari, saya ucap terima kasih. Saya tidak ada data lengkap berkenaan jumlah dan kita akan buat jawapan secara bertulis.
Soalan tambahan.
Beserah.
Terima kasih Yang di-Pertua.
Saya tertarik dengan jawapan diberikan oleh pihak Kerajaan. Kadar pemulihan penagih kalau tidak silap saya dengar tadi, 48% penagih yang berjaya dipulihkan. Bagi saya 48% tak sampai separuh daripada penagih-penagih itu yang kita mampu pulihkan berbandingkan dengan kos yang kita belanjakan untuk pemulihan ini. Jadi adakah kita menilai semula kaedah pemulihan yang kita sedang lakukan supaya kadar pemulihan tersebut boleh naik daripada 48 mungkin sampai 70, 80%. Jadi kalau ada kaedah… saya rasa kaedah ini yang perlu kita lihat selain daripada kaedah er… penguatkuasaan di peringkat source, di peringkat sumber dia, di peringkat pemulihan ini saya rasa perlu dinilai semula. Terima kasih.
Sepertimana yang kita katakan, semua pihak dialu-alukan sekiranya mempunyai cadangan, pandangan, ataupun kaedah yang boleh memberikan peratus… meningkatkan peratus pemulihan penagih-penagih dadah ini. Saya kira ianya akan kita beri kerjasama dan kita akan gunapakai. Jadi sekiranya kalau YB. daripada Beserah ada kaedah yang lebih baik daripada apa yang telahpun dijalankan selama ini, saya kira boleh diketengahkan untuk kita sama-sama ambil tindakan. Terima kasih.
Baik. Jemput Wakil Ibam. Soalan berikutnya.
Assalamualaikum WBT. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, er… saya… sebelum saya mengutarakan soalan, saya nak menjawab juga pantun daripada Ketari.
Satu, dua, tiga, empat, Tanam nenas rapat-rapat, Tanjung Piai BN dapat, Tanda usaha kerja muafakat.
Yang Hormat Tuan Yang di-Pertua,
soalan saya er… nombor 6.
[Berapakah jumlah pusat-pusat hemodialisis yang sedia ada di negeri Pahang dan apakah kriteria-kriteria untuk melayakkan sesuatu tempat itu dibina pusat hemodialisis?]
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Terima kasih kepada err… Bukit Ibam di atas soalan beliau berkenaan dengan Pusat Hemodialisis. Tapi sebab dia dah berpantun saya pun nak menumpang sekaki Dato’ Sri Yang di-Pertua.
Bubuh bedak atas pipi, Pergi dewan pakai sepatu, PRK sudah mengkasih DAP, Ucap tahniah gugurnya Bersatu.
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Er… merujuk kepada pusat hemodialisis ataupun persoalan yang dibangkitkan tentang er… berapakah pusat-pusat yang sedia ada ataupun apakah kriteria-kriteria untuk melayakkan sesuatu tempat dibina untuk pusat hemodialisis ini.
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Sebanyak 42 buah pusat hemodialisis yang ada di negeri Pahang iaitu hospital Kerajaan Negeri 11 buah, klinik kesihatan 3 buah, pusat hemodialisis swasta ataupun NGO 26 buah, pusat hemodialisis polis ada 2 buah. Adapun kriteria penubuhan pusat hemodialisis ini terletak di bawah Akta er… 1998 (586) dan apa… syaratnya banyak ni tapi yang pertama sekali orang yang nak membuat itu mesti ada tempat. Yang keduanya ada orang yang pakar untuk mengendalikan pusat hemodialisis itu, doktor dan pembantu-pembantunya dan yang ketiganya, dia mestilah mendapat kebenaran awal daripada Kementerian Kesihatan dan juga dia boleh juga mendapatkan bantuan-bantuan daripada Kementerian Kesihatan. Kemudian adalah syarat-syarat detail yang boleh saya kemukakan kalau saya bacakan satu persatu terlalu panjang hampir sepuluh muka surat Dato’ Sri Yang Di-Pertua, saya boleh panjangkan kepada er… pihak Bukit Ibam insya-Allah. Terima kasih Dato’ Sri Yang Di-Pertua.
Ya.
Soalan tambahan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua,
Berhubung dengan soal er… Pusat Hemodialisis ni er… dia… kita kalau mengikutnya ada 42 dan kita luas Pahang ni. Rompin juga begitu dan kawasan saya di Bukit Ibam juga sangat luas. Kalau nak kita kira daripada Bukit Ibam di kawasan saya yang luas itu daripada sempadan Segamat nak menyampaikan ke Muadzam Shah, Hospital Muadzam Shah yang ada Pusat Hemodialisis er… mengambil masa lebih kurang satu jam lebih dan juga kos dan untuk er… pengetahuan semua Yang Berhormat, kita ada kelompok yang begitu ramai yang mengidap er… yang memerlukan er…hemodialisis ini. Jadi saya melihat ada satu tempat er… tempat yang perlu yang dikirakan centre pada satu-satu kawasan yang luas itu.
Jadi soalan tambahan saya, apa dah… apakah Kerajaan Negeri bercadang membina Pusat-Pusat Hemodialisis, Kerajaan Negeri sendiri bercadang untuk membina Pusat-Pusat Hemodialisis ini kerana er… swasta ni kosnya sangat tinggi er… tidak mampu sebagainya untuk ditanggung oleh pesakit-pesakit. Jadi adakah Kerajaan Negeri bercadang membina pusat-pusat hemodialisis melalui anak-anak syarikat di kawasan-kawasan yang agak jauh daripada er… Hospital yang ada er… klinik-klinik kesihatan di situ? Terima kasih.
Terima kasih Dato’ Sri Yang Di-Pertua di atas soalan tambahan dan kita memang tidak dapat sangkalkan terdapat ramainya pesakit-pesakit buah pinggang yang memerlu kepada perkhidmatan hemodialisis dan juga cadangan daripada Bukit Ibam ini adalah satu cadangan yang sangat baik yang tidak mustahil kerajaan akan memandang dan menitik berat untuk sama-sama kita berganding bahu dengan Kerajaan Pusat bagi menambah pusat-pusat hemodialisis dengan mengambil kira keupayaan kewangan Kerajaan Negeri. Terima kasih Dato’ Sri Yang Di-Pertua.
Ya, terima kasih
Soalan tambahan….
Saya ingat saya nak teruskan kepada soalan berikutnya.
Oh… tak boleh ya.
Sila… Beserah.
Terima kasih er… Dato’ Sri Yang Di-Pertua, saya kemukakan soalan nombor tujuh.
[Muara sungai di sekitar DUN Beserah telah semakin cetek dan menyukarkan aktiviti harian para nelayan, sila nyatakan;
a) Apakah perancangan pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini dan bila dijangka akan dilaksanakan?
b) Adakah pihak kerajaan bersedia untuk menimbangkan cadangan pihak swasta bagi menjalankan kerja-kerja mendalamkan muara sungai tersebut? Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sekiranya ada pihak-pihak yang berminat menjalankannya?]
Terima kasih Dato’ Sri Yang di-Pertua dan terima kasih juga kepada Wakil daripada Beserah yang bertanyakan soalan berkaitan dengan kecetekan er… muara sungai di kawasan Beserah. Untuk makluman Ahli-ahli Dewan, ada lima sungai utama di er… DUN di dalam kawasan DUN Beserah iaitu Sungai Beserah, Sungai Balok, Sungai Ular, Sungai Cherating dan Sungai Chendor.
Jadi masalah kecetekan muara sungai ini bukanlah berlaku hanya di DUN Beserah, bukan sahaja berlaku di muara-muara Sungai Pahang tetapi fenomena ini berlaku hampir di seluruh er… muara sungai utama di negara kita membabitkan er… banyak negeri dan untuk mengatasi masalah ini Yang Berhormat pun saya fikir faham, memerlukan kos yang sangat besar di dalam hal di DUN Beserah ini kita amat bersimpati dengan nasib para nelayan yang menghadapi kesukaran keluar masuk di muara-muara sungai ini khususnya er… dan usaha nak mendaratkan hasil-hasil tangkapan untuk manfaat untuk er… apa di… di er… nikmati hasilnya oleh rakyat. Sehubungan itu, er… pihak Kerajaan Negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 ini telah memohon peruntukan er… melalui Kerajaan Persekutuan, khususnya untuk tiga sungai dulu Yang Berhormat iaitu Sungai Beserah er… melibatkan kos RM3 juta, Sungai Ular RM3 juta dan Sungai Balok RM3 juta.
Bagi soalan kedua Yang Berhormat, adakah pihak kerajaan bersedia untuk menimbangkan cadangan pihak swasta bagi menjalankan kerja-kerja mendalamkan muara sungai ini? Jawapannya, Kerajaan Negeri Pahang bersedia dan syaratnya er… secara detail, teknikalnya agak… agak apa er… kompleks. Jadi secara dasarnya kita mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak dan pihak ini perlu mengemukakan cadangan ataupun mengemukakan hasil kajian hidraulik untuk memastikan sebarang kerja-kerja yang dilaksanakan ini tidak memberikan implikasi er… hakisan tanah di kawasan-kawasan pantai. Terima kasih.
Yang Berhormat.
Soalan tambahan Dato’…
Tak… terus kepada… saya nak terus kepada soalan 8, Panching.
Tuan Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor 8.
[Apakah status persiapan atlet-atlet Pahang menghadapi SUKMA 2020?]
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
Terima kasih kepada ADN kawasan Panching yang bertanyakan tentang status persiapan atlet-atlet Pahang menghadapi SUKMA 2020. Untuk makluman Sidang Dewan, persiapan atlet-atlet di Pahang er… ketika ini sangat memberansangkan. Setelah er… selesai SUKMA Perak er… 2018 yang lalu, Majlis Sukan Pahang telah meneruskan program latihan jangka panjang bermula November 2018 sebagai persiapan menghadapi temasya er… SUKMA Johor 2020 di samping menghantar pasukan menyertai kejohanan peringkat kebangsaan. Ini bertujuan agar atlet yang masih layak untuk bertanding untuk SUKMA XX Johor dapat mengekalkan prestasi agar lebih kompetitif dan untuk makluman Sidang Dewan juga beberapa er… maklumat boleh kita kongsikan dalam Dewan ini berhubung dengan persiapan atlet-
atlet kita er… untuk SUKMA XX Johor. Pertama, bilangan atlet er… negeri Pahang seramai 582 orang er… dan pecahannya 342 lelaki dan 240 atlet perempuan. Kedua, bilangan jurulatih sepenuh masa seramai 32 orang, bilangan jurulatih sambilan pula 39 orang. Manakala bilangan pusat latihan adalah sebanyak 25 pusat latihan.
Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan atlet yang melebihi had kelayakan umur 21 tahun, Majlis Sukan Pahang telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang melalui sekolah yang terpilih untuk menganjurkan program-program pemilihan bakat. Melalui program ini, pelajar yang terpilih akan diserapkan untuk menjalani program latihan intensif di bawah kendalian jurulatih Majlis Sukan Pahang dan seramai 202 orang atlet baharu er… telah dikenal pasti melalui program Talent ID dan Talent Scouting yang diadakan. Ini bagi er… menyahut cabaran Champion Glory, dengan izin, bagi motto er… SUKMA Johor 2020 pada tahun hadapan. Untuk mempertingkatkan program latihan sedia ada, Majlis Sukan Pahang juga telah menyusun beberapa ataupun er… menyusun semula barisan kejurulatihan dengan membuat lantikan baharu serta menambah kekuatan barisan jurulatih dengan memperbanyakan lantikan jurulatih sambilan agar program latihan akan lebih komprehensif dan berkesan.
Untuk makluman Sidang Dewan juga, bagi menambah pengetahuan aspek kejurulatihan, Majlis Sukan Pahang juga telah menghantar jurulatih untuk menyertai bengkel, kursus dan klinik kejurulatihan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Ini bagi memastikan aspek kejurulatihan dapat dipertingkatkan bagi membantu atlet mencapai kejayaan yang diharapkan. Untuk memastikan atlet sentiasa bersedia mental dan fizikal, selain program latihan berterusan, Majlis Sukan Pahang juga telah menganjurkan kem motivasi secara berperingkat dan sebanyak 3 siri kem motivasi sahsiah diri atlet dengan kerjasama Yayasan Pahang yang telah dianjurkan dan melibatkan 10 sukan seramai 125 orang atlet. Siri kem motivasi ini akan diteruskan melibatkan semua sukan yang akan menyertai SUKMA 2020 Johor secara berperingkat. Kem yang berlangsung mendapat kerjasama dan diadakan di Kem Latihan Perhutanan Negeri Pahang, Kampung Belimbing, Pekan, Pahang.
Manakala Program Pendidikan Berterusan melalui Bengkel Pemakanan Sukan, Kesedaran Doping dan Ujian Kercergasan turut akan diadakan bagi memastikan setiap atlet lebih peka dan menjaga disiplin masing-masing. Dalam hal ini, beberapa program, untuk makluman Sidang Dewan, telah diatur dan dilangsungkan juga bagi er… memperkasakan atlet-atlet serta jurulatih kita. Pertama Bengkel Periodisasi Sukan, Klinik er… Psikologi Sukan, Bengkel Pemantapan Kejurulatihan dan Pegawai Majlis Sukan Pahang, Bengkel Kecederaan Sukan dan Anti-Doping serta Kursus Sains Sukan Tahap 1 dan Tahap 2. Beberapa siri mesyuarat dan perjumpaan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan turut diadakan bersama Persatuan Sukan Negeri, jurulatih, agensi terlibat seperti Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Yayasan Pahang dan Jabatan Belia serta Sukan turut diadakan.
Ini memastikan segala perancangan dan mengatur dan persediaan ke arah SUKMA Johor 2020 dapat mencapai satu titik persamaan iaitu menjadikan kontinjen negeri Pahang yang mantap dan kita akan cuba er… berbincang lagi dengan beberapa agensi untuk dilibatkan bersama untuk terus memberi sokongan yang padu kepada atlet-atlet kita pada masa akan datang dan untuk akhirnya juga makluman Sidang Dewan, baru-baru ini kita di Majlis Sukan Pahang telah mengadakan MoU bersama Syarikat Fit Lion dari Singapura yang telah bersetuju untuk menaja 6 orang atlet SUKMA negeri Pahang selama setahun serta atlet akan menerima insentif berjumlah RM300.00 sebulan dan untuk tambahan pembelian makanan sukan ataupun supplement tajaan bermula 2019 sehingga 2020. Terima kasih Yang di-Pertua.
Soalan tambahan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat, yang pertama, apakah jenis sasaran sukan untuk emas dan perak untuk sukan SUKMA 2020 dan yang kedua adakah terdapat atlet-atlet daripada negeri Pahang yang mewakili negara ke Sukan SEA di Filipina pada hujung tahun ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Kepada ADN Panching yang bertanyakan er… adakah di kalangan atlet-atlet kita dari segi er… sasaran untuk mencapai pingat emas memang ada, dan kita er… banyak acara-acara seperti er… angkat berat, memanah dan juga acara menembak serta bowling dan er… kita untuk makluman sidang Dewan juga tidak hanya bergantung kepada sukan-sukan ini secara total kerana kita er… telah membuat kaji selidik bahawa negeri-negeri dalam er… Malaysia hari ini kalau dulu satu ketika duduk di peringkat yang akhir dengan kita tapi hari ini seperti Sabah dan beberapa negeri-negeri yang lain Sarawak telah melonjak naik. Kerana apa? Kerana persediaan-persediaan atlet yang er… begitu baik dari semasa ke semasa, sama ada dari segi kejurulatihan yang disediakan sama ada dari segi pemakanan kepada atlet-atlet dan juga kursus-kursus serta penghantaran atlet-atlet tersebut telah er… melonjak naik dan er… bersaing rapat dengan er… acara-acara yang kita telah ungguli dalam mencapai er… pingat emas pada ketika ini.
Jadi kita telah er… melihat perkara ini secara mendalam dan kita perlu er… menggarap acara-acara lain yang sebelum ini mendapat perak dan sebagainya untuk kita ketengahkan dan beri latih tubi yang lebih er… baik supaya kita tidak bergantung kepada angkat berat, er… memanah, menembak, boling dan sebagainya dan er… kita harap perkara ini berlaku dan di dalam SUKMA Perak yang lalu, boling sebagai contoh sebelum ini tak pernah kita mendapat orang kata err… tidak mendapat apa ni emas tapi baru-baru ini kita dapat emas. Ha… ini satu pencapaian yang baik ya. Jadi kita perlu bersaing dengan lebih kuat dan er… lebih ke depan untuk er… memperbanyakkan acara-acara yang boleh kita dapatkan sasaran emas ini.
Manakala penglibatan ataupun penyertaan atlet-atlet sukan negeri Pahang untuk er… SEA Games di Filipina pada er… hujung tahun ini yang akan bermula pada 5 sehingga 12 haribulan Disember ini, er… kita memang ada. Atlet kita akan terlibat secara langsung ke kejohanan tersebut dan saya yakin er… pihak MSP juga telah menguar-uarkan kepada sidang Dewan sebelum ini dan juga kepada barisan ADN-ADN ya, kita jemput jika dapat bersama untuk memberi sokongan kepada atlet-atlet kita semasa temasya ini berlangsung dan saya mengucap ribuan terima kasih kepada ADN Panching kerana memberi keprihatinan kepada perkara ini dan kita yakin bahawa penyertaan kita pada kali ini di Philippines, insya-Allah akan membuahkan hasil khususnya dari segi err… untuk mendapatkan pingat emas dan kita perlu ingat bahawa penyertaan atlet-atlet ini er… memerlukan kos yang tinggi ya dan kita pada kejohanan yang lepas sebagai tambahan kepada ADN kawasan Panching di Gold Coast baru-baru ini, kita… saudara Azrul Wafiy telah mendapat pingat emas dan telah memecahkan rekod saudara Amirul Hamizan kalau ketika itu saudara Amirul Hamizan memecahkan rekod 115 kilogram tetapi Azrul Wafiy telah pecahkan rekod kebangsaan 117 kilogram. Yang ini kita mengharapkan supaya penyertaan atlet-atlet seperti acara
angkat berat, memanah, menembak akan mendapat sasaran pingat emas yang akan datang, insya-Allah. Terima kasih Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Baik, kita beralih kepada soalan berikut. Jemput Wakil dari Tras.
Tuan Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor 9.
[Sila nyatakan jumlah peruntukan pembangunan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Raub di kawasan DUN Tras pada tahun 2018 dan 2019?]
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua yang telah memberi laluan kepada saya bagi menjawab pertanyaan ahli daripada Tras iaitu mengenai jumlah peruntukan pembangunan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Raub di kawasan DUN Tras pada tahun 2018 dan 2019. Mengikut rekod untuk tahun 2018 dan 2019, Pejabat Daerah dan Tanah Raub telah menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri Pahang bagi maksud pelaksanaan projek-projek kecil dan pemberian bantuan dan sumbangan kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan ataupun sebagai penyelaras dan juga Ahli Dewan Negeri … Dewan Undangan Negeri… yang pembangkang tu, maknanya Kerajaan Negeri memberi. Peruntukan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk kawasan DUN Tras adalah seperti berikut.
Pada tahun 2018, sebanyak RM30,000.00 telah diberi kepada ADN Tras dan pada tahun 2019 sebanyak RM180,000.00 telah diberi kepada… telah disalur kepada Pejabat Daerah dan Tanah Raub. RM30,000.00 kepada ADN Tras dan RM150,000.00 kepada penyelaras ADN Tras dan senarai terperincinya bolehlah diberi kepada Ahli Tras err… jika… jika perlu. Sebab kalau nak bacanya panjang, ada 5-6 helai. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua.
Ya, soalan tambahan.
Satu soalan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan saya sebagai pembangkang, kami memang menghargai Kerajaan Pahang kerana menyalurkan peruntukan RM30,000.00 kepada setiap ADN pembangkang. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang dan saya nak tanya itu yang penyelaras kepada setiap DUN yang bukan Barisan Nasional, adakah ini ada satu senarai siapa adalah penyelaras itu? Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Oleh kerana Kerajaan Barisan Nasional ini sangat prihatin walaupun kawasan tersebut tidak dimenangi oleh Barisan Nasional, Kerajaan Negeri telah melantik penyelaras dan penyelaras ini biasa… lazimnya daripada kalangan ADN-ADN dan kita memberikan sedikit peruntukan. Semua kawasan yang Barisan Nasional kalah iaitu 9 campur 8, 17 ada penyelaras. Maknanya, kalau YB nak tahu kita boleh bagi nama senarai. Jadi sebelum saya duduk Yang Berhormat seperti mana saya janji tadi saya nak jawab pantun YB daripada Ketari.
Ada elaun Yang Berhormat? Tak ada.
Dua tiga kucing berlari, Tertangkap seekor di rumah Mat Nor, Ucapan tahniah YB Ketari dah beri, Bila lagi YB nak masuk UMNO?
(Ahli Dewan ketawa)
Dah jawab YB? Baiklah, kita pergi kepada soalan berikutnya, ADN Teruntum.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor 10.
[Pembangunan negara telekomunikasi telah didirikan di kawasan Pahang yang kebanyakkannya terletak di kawasan padang perumahan dan juga padang sekolah. Ianya juga berkemungkinan akan menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk sekitarnya.
a. Berapakah menara telekomunikasi yang didirikan di negeri Pahang pada tahun 2016 hingga September 2019? Sila senaraikan tempat yang telah didirikan.
b. Adakah ianya melibatkan pemilik tanah dalam kontrak perjanjian ini? Jika YA: Berapakah kadar sewaan yang dikenakan? Sila huraikan.
c. Berapakah jarak menara yang sepatutnya dari kawasan kediaman?]
[Ayat al-Quran]. Assalamualaikum WBT dan selamat pagi. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Merujuk kepada soalan Teruntum, berapakah menara telekomunikasi yang telah didirikan di negeri Pahang pada tahun 2016 sehingga September 2019. Untuk pengetahuan Teruntum dan Sidang Dewan sebanyak 341
struktur telekomunikasi telah didirikan semenjak 2016 hingga September 2019 dan err… untuk pecahan daerah-daerahnya Kuantan sebanyak 87 buah, Pekan 31, Rompin 22, Maran 27, Bera 28, Temerloh 24, Bentong 45, Raub 17, Cameron Highlands 3, Lipis 28 dan Jerantut 29. Semua tempat yang didirikan menara telekomunikasi ini sudah tentu akan melibatkan pemilik-pemilik tanah dan er... kadar sewaan yang dikenakan bergantung kepada lokasi, access kepada tapak menara dan keluasan tapak. Sebagai contoh, tanah pertanian di luar bandar kita kenakan lebih kurang RM500.00 hingga RM1,000.00 sebulan. Tapak tanah PBT RM700.00 hingga RM1,200.00 sebulan, di atas bangunan, er... rooftop structure, dengan izin Yang Berhormat Yang di-Pertua RM1,000.00 hingga RM2,500.00 sebulan.
Merujuk soalan nombor, yang C. Berapakah jarak menara yang sepatutnya dari kawasan kediaman? Sebagaimana garis panduan yang telah ditetapkan pada tahun 2002 oleh Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, jarak minima di antara menara telekomunikasi dan premis kediaman adalah sejauh 30 meter. Sekian terima kasih.
Soalan tambahan.
Tambahan.
Sila Ketari.
Terima kasih Yang Amat... Terima kasih Tuan Yang di-Pertua... Yang di-Pertua.
Soalan tambahan. Bagaimanakah pembinaan dan kawasan pembinaan menara telekomunikasi ini dipilih dan dirancang?
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kawasan-kawasan yang dipilih ini adalah bergantung kepada kesesuaian dan ini telah... kajian ini akan dibuat oleh pihak SKMM dan er... setelah itu akan dirujuk kepada Majlis Daerah untuk dilaksanakan er... menara telekomunikasi ini, sekian.
Terima kasih Yang Berhormat.
Soalan Tambahan.
Satu soalan ya.
Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua,
Adakah kontraktor dalam masa memohon er... tempat dirikan menara ini mengambil kesempatan cara yang senang seperti di kawasan padang sekolah, padang taman perumahan juga yang tadi er... Wakil Kerajaan kata bumbung bangunan atas kedai itu tidak melebihi 30 meter.
Soalan kedua saya. Adakah pemeriksaan berkala dijalankan untuk memastikan kadar pendedahan kadar gelombang kepada orang awam di dalam lingkungan piawaian jika telah dilakukan, adakah laporan tersebut dikongsi kepada pihak awam? Terima kasih.
Yang Hormat Yang di-Pertua,
Minta tolong Teruntum ulang semula soalan nombor 1 tadi. Bumbuh ke bumbung?
Bumbung, atas kedai.
Ulang semula, ulang semula soalan.
Bumbung atas kedai yang tidak melebihi 30 meter.
Saya minta Teruntum ulang semula soalan itu.
Adakah pihak kontraktor masa memohon mengambil kesempatan, senang, secara senang okay di kawasan seperti padang sekolah, padang taman perumahan dan juga bumbung yang tadi saya sebutkan tidak melebihi 30 meter.
Semua Yang Berhormat... untuk makluman Sidang Dewan, semua menara-menara yang akan didirikan ini telah sudah tentu dibuat kajian terlebih dahulu oleh pihak SKMM bukan kontraktor yang mohon. SKMM akan tentukan tapak dan kesesuaiannya dan er... untuk makluman Sidang Dewan er... teknologi komunikasi mudah alih ini dia menggunakan radio frequency dan tergolong dalam kategori senarai tidak mengion NR… NIR, Non-Ion Radiation dan Ion Radiation dan dia tidak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk mengganggu struktur molekul atau sel-sel tubuh manusia.
Jadi pendedahan jangka panjang tidak akan mengakibatkan kerosakan kepada tisu badan untuk makluman. Dan ujian tahap pencemaran atau radio frequency, RF dengan izin, Yang Berhormat Yang di-Pertua, dikendalikan oleh Agensi Nuklear Malaysia di seluruh negara dan mendapati bahawa radiasi di kawasan sekitar pemancar adalah amat rendah dan berada pada tahap yang selamat. Sekian.
Baik terima kasih.
Baiklah Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya bercadang untuk menempohkan persidangan ini pada pukul... sekarang dan kita akan sambung semula pada jam 11.00 pagi. Saya mohon maaf kerana masa untuk kita minum kita agak pendek oleh kerana kita akan mendengar... oleh kerana Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membentangkan Rang Undang-undang Bekalan 2020 pada pukul 11.00 pagi. Saya tempohkan persidangan ini dan berharap Yang Berhormat... Ahli-ahli Yang Berhormat akan masuk semula dalam Dewan pada jam 11.00 pagi. Mesyuarat ditempohkan. Terima kasih.
[Persidangan ditempohkan pada jam 10.49 pagi]
[Persidangan disambung semula]
Rang Undang-UndangBill
Perkara Ketiga: Rang Undang-undang.
Rang Undang-undang Perbekalan (2020) 2019 DN 28/2019 Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Tahun 2020 Anggaran Pembangunan dan Perbekalan Air Tahun 2020 DN 34/2019
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon mengemukakan Rang Undang–undang Perbekalan (2020) 2019.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon izin menyokong cadangan tersebut.
Suatu Enakmen bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Tahun 2020 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon Rang Undang-undang tersebut dibaca bagi kali yang kedua pada hari ini juga.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon izin menyokong cadangan itu.
Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan (2020) 2019 dibaca bagi kali yang kedua.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya dengan ini menjemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyampaikan ucapan belanjawan bagi tahun 2020. Silakan Yang Berhormat.
Ucapan Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur Bagi Tahun 2020Address / budget
Assalamualaikum WBT, salam sejahtera.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan inayah-Nya kita dapat hadir ke Mesyuarat Penggal Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Yang Ke-14 yang bermula pada hari ini. Pada sidang kali ini insya-Allah, saya akan membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur bagi tahun 2020.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Dalam Belanjawan 2020, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah RM297 bilion. Di mana RM241 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus, sementara RM56 bilion adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan. Peruntukan ini tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2.0 bilion. Di bawah Peruntukan Pembangunan Sektor Ekonomi menerima agihan sebanyak RM31.0 bilion bersamaan 10.4% yang merangkumi pengangkutan, perdagangan, industri, tenaga kemudahan awam dan pertanian. Sektor Sosial akan menerima sejumlah RM15.0 bilion iaitu 5.1%. Manakala bagi Sektor Keselamatan diperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion bersamaan 2.2% dan Sektor Pentadbiran Am sebanyak RM3.3 billion bersamaan 1.1%.
Kutipan Hasil Negara dijangka mencecah RM244.5 bilion pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM11.2 bilion berbanding tahun 2019 tanpa mengambil kira dividen khas PETRONAS sebanyak RM30 bilion. Dalam pembentangan belanjawan 2019 yang lalu, Kerajaan Pusat telah mengumumkan perkongsian 50% hasil kutipan bagi cukai pelancongan yang akan diterima sebagai hasil kepada Kerajaan Negeri. Alhamdulillah, negeri Pahang telah menerima RM7.86 juta daripada keseluruhan kutipan cukai pelancongan tahun 2018 yang berjumlah RM15.72 juta.
Kerajaan Negeri disarankan untuk menggunakan pemberian ini bagi maksud penyelenggaraan dan penyediaan kemudahan pelancongan, promosi, pemasaran destinasi pelancongan. Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan beberapa projek. Antaranya ialah peruntukan RM810 juta untuk hal-hal berkaitan kebajikan peneroka FELDA seluruh negara yang akan dimanafaati oleh 43,124 peneroka serta anggota FELDA di Pahang. Peruntukan sebanyak RM69.5 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau dikenali sebagai East Coast Economic Region Development Council untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan.
Pinjaman bagi tiga projek untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan Perindustrian Gebeng, Semambu dan Raub bernilai RM637 juta dan membina klinik-klinik kesihatan baharu termasuklah sebuah di Cameron Highlands. Sehubungan dengan kelulusan projek-perojek ini, Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih
kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap kerjasama baik ini dapat diteruskan dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri dan yang paling penting adalah kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Menurut Laporan Buletin Suku Tahunan 2019 oleh Bank Negara, ekonomi Malaysia secara keseluruhannya merekodkan pertumbuhan stabil 4.9% dalam tempoh suku tahun pertama dan ke-2 2019. Sehingga 15 November 2019 Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM588 juta berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM 703.80 juta iaitu pencapaian sebanyak 83%. Kerajaan Negeri menjangkakan sehingga hujung tahun ini sasaran 90% kutipan hasil yang telah disasarkan akan dapat dicapai berdasarkan trend kutipan hasil terutamanya hasil tanah. Dalam tempoh yang sama Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM537 juta berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM679.46 juta iaitu pencapaian sebanyak 7.8% untuk perbelanjaan mengurus. Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula sebanyak RM36 juta telah dibelanjakan berbanding dengan sasaran RM71 juta bersamaan dengan pencapaian prestasi 51%. Kerajaan Negeri juga berjaya menunjukkan lebihan dari bulan Ogos hingga kini, kita berjaya mencapai penjimatan yang ketara sekaligus menunjukkan kedudukan ekonomi Pahang dalam keadaan baik dan sihat.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2020 akan menyediakan peruntukan berjumlah RM 739.8 juta bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM120.75 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan. Belanjawan 2020 adalah Belanjawan Pengembangan dan dengan memberi tumpuan kepada perbelanjaan infrastruktur dan peningkatan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM22.70 juta daripada jumlah yang telah Kerajaan Negeri peruntukan pada Belanjawan tahun 2019. Daripada RM120.75 juta perbelanjaan pembangunan tersebut, sejumlah RM85.55 juta akan menggunakan pembiayaan secara langsung, manakala baki RM35.20 juta adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air.
Daripada jumlah RM739.89 juta yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus, RM332.4 juta adalah untuk emolumen. RM165.48 juta untuk perkhidmatan dan perbekalan. Manakala sebanyak RM229.96 juta adalah untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap. Sebanyak RM7.6 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan lain dan RM4.3 juta untuk pembelian aset. Anggaran Perbelanjaan Mengurus untuk 2020 meningkat sebanyak RM60.43 juta atau 8.9% berbanding tahun 2019. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri dijangka mengutip hasil sebanyak RM744.02 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM 40.22 juta atau 5.71% berbanding anggaran tahun 2019. Kutipan hasil tahun 2020 dijangka diperolehi daripada hasil tanah sebanyak RM417.79 juta, hasil perhutanan sebanyak RM165.50 juta, hasil hair… air sebanyak RM3.7 juta, geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM94.2 juta dan lain-lain hasil sebanyak RM62.76 juta. Kutipan hasil negeri dijangka akan mengalami peningkatan melalui pelaksanaan yang lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil baharu bagi hasil tanah, hasil hutan dan duti hiburan. Kesimpulannya, belanjawan 2020 menganggarkan kutipan hasil negeri adalah sebanyak RM744.02 juta manakala perbelanjaan mengurus dijangka sebanyak RM739.89 juta dengan lebihan RM4.13 juta. Walau bagaimanapun, jumlah sebenar bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada tahun 2020.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Rancangan Malaysia Ke-11 yang bermula pada tahun 2016 akan berakhir pada tahun 2020 kini memasuki fasa terakhir ke arah mencapai status negara maju yang bertemakan pertumbuhan berpaksikan rakyat memberi tumpuan kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Negeri Pahang merupakan negeri yang menyumbang secara konsisten kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar ataupun KDNK. Pada tahun 2018, negeri Pahang merekodkan nilai KDNK bagi tahun 2018 berjumlah RM56.2 bilion berbanding RM54.6 bilion pada tahun sebelumnya. Pahang mencatatkan KDNK sebanyak 4.4% berbanding purata KDNK Nasional sebanyak 5%. Sektor perkhidmatan meningkat 6.5% disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan lain dan perkhidmatan kerajaan. Sektor pembuatan kekal positif dengan merekodkan pertumbuhan 5.8% didorong oleh subsektor bahan kimia dan produk kimia. Walau bagaimanapun, sektor pertanian bertumbuh perlahan pada kadar 1.2% selepas mencatatkan peningkatan kukuh 9.3% pada tahun 2017 dipengaruhi oleh subsektor kelapa sawit yang menyusut pada -5.2%.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan Negeri akan sentiasa menitikberatkan keseimbangan di antara keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat selaras dengan tagline “Maju Terus Pahang” dan “Pahang 1st”. Pada masa yang sama juga Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah untuk mengelakkan defisit fizikal. Belanjawan 2020 memberi fokus kepada tiga strategi utama. Pertama, melonjak ekonomi ke arah negeri berdikari, kedua memperkasa perkhidmatan dan modal insan, ketiga mensejahterakan kehidupan rakyat.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Strategi pertama melonjak ekonomi ke arah negeri berdikari. Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited bagi meningkatkan hasil negeri dan telah mensasarkan kutipan hasil sebanyak RM1 bilion dalam tempoh tiga atau empat tahun yang akan datang. Bagi meningkatkan kecekapan kutipan hasil, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan prestasi petunjuk utama kutipan hasil sebanyak 90%. Bagi mencapai tujuan tersebut, pelbagai inisiatif sedang dirangka antaranya ialah memperkemaskan sistem penyampaian dengan memperkenalkan langkah-langkah proaktif yang akan meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri, sekali gus mencapai hasrat kerajaan untuk menjadi negeri berdikari.
Pentadbiran Negeri Pahang sentiasa berusaha meningkatkan hasil dengan mengurangkan ketirisan. Antara inisiatif yang telah diambil adalah penubuhan beberapa Unit Khas di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang iaitu Unit Kutipan Balik Hasil, Unit Petugas Khas Hasil dan Unit Tender Khas. Selain itu, beberapa langkah proaktif telah diambil termasuk yang melibatkan kutipan duti hiburan. Pada tahun 2018, kutipan duti hiburan adalah RM9.6 juta sehingga 15 November 2019, duti kutipan hiburan telah mencecah RM15 juta, jumlah ini dijangkakan meningkat pada tahun 2020 apabila Kerajaan Negeri mensyaratkan agar bayaran duti hiburan perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum lesen hiburan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Pengemaskinian prosedur ini dijangka dapat meningkatkan kutipan hasil negeri dan PBT.
Untuk memperkasakan penguatkuasaan, sebanyak RM1.9 juta telah diperuntukkan pada tahun ini bagi pembelian jentera berat iaitu 2 unit excavator dan 2 unit backhoe dan 1 unit safeloader untuk melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan dan pemusnahan bangunan tanpa izin di atas tanah kerajaan. Perolehan jentera ini adalah
komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani kes-kes pencerobohan yang secara tidak langsung dapat membendung ketirisan hasil negeri. Sebanyak lima operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan yang melibatkan pelbagai agensi sepanjang tahun 2019 antaranya Ops Tanglung, Ops Lombong Empat, Ops Tebas, Ops Ronda dan Ops Lombong Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang. Sejak tahun 2018 sehingga Oktober 2019, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah membawa 9 kes kesalahan hutan untuk pertuduhan di mahkamah dan telah memenangi kesemua kes tersebut. Pesalah telah dijatuhi hukuman denda dan penjara sebanyak RM764,000.00 telah berjaya dikutip sebagai denda dan penalti pelbagai kesalahan hutan.
Selain daripada mengurangkan ketirisan melalui penyelarasan semula kadar duti hiburan dan memperkasakan kaedah kutipan. Kerajaan Negeri juga telah menyemak semula kadar fi dan permit untuk aktiviti-aktiviti di Taman Negara. Sejak 70 tahun beroperasi, ini adalah kali pertama kadar-kadar ini disemak semula. Kadar baru ini dilihat mampu menjamin kelestarian alam semulajadi serta kelangsungan kepelbagaian flora dan fauna selain daripada menambah pendapatan negeri. Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Cukai Katil sepertimana yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan Cas Warisan di negeri Melaka.
Majlis Tanah Negara Ke-71 pada 14 Disember 2015 telah mengarahkan semua negeri supaya menyemak semula kadar cukai tanah di negeri masing-masing. Sehubungan dengan itu, semakan cukai di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965 yang melibatkan 700,000 hak milik sedang giat dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada industri berat, perniagaan dan estet. Kali terakhir semakan kadar cukai tanah dibuat adalah pada tahun 2007. Semakan dibuat agar kadar yang dikenakan adalah lebih saksama, seragam dan teratur sejajar dengan pembangunan semasa serta peningkatan nilai harta tanah. Kadar baru ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2020.
Namun begitu, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, Kerajaan Negeri akan memastikan pindaan kadar cukai tanah yang dikenakan tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah. Ini sebaliknya lebih mensasarkan kepada syarikat-syarikat besar, contohnya bagi pemilik tanah berkeluasan 101 hektar bersamaan 250 ekar dimana cukai semasa yang dikenakan sebanyak RM235,000.00 setahun sedangkan keuntungan bersih tahunan pemilik tanah tersebut adalah sebanyak RM55 juta setahun. Maka dengan kadar cukai baru Kerajaan Negeri akan mengutip RM5 juta setahun. Ini akan memberikan impak kenaikan hasil yang sangat besar kepada Kerajaan Negeri selari dengan kadar keuntungan yang diperolehi oleh pemilik tanah. Kerajaan Negeri memberi jaminan kadar kenaikan cukai tidak akan membe… membebankan pemilik tanah pertanian iaitu kelapa sawit, getah, teh, koko, kopi, dusun dan hasil hutan yang berkeluasan 4 hektar bersamaan 10 ekar ke bawah. Dengan pelaksanaan kadar baru ini, Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan cukai pada tahun 2020 tidak termasuk pengeluaran hak milik baru adalah sebanyak RM617 juta berbanding kutipan cukai tanah sedia ada iaitu RM192 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM425 juta setahun.
Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif mewujudkan Pengurusan Pasir Pahang Berhad. Pada bulan pertama Pengurusan Pasir Pahang Berhad beroperasi, Kerajaan Negeri telah menerima hasil daripada pengeluaran pasir melalui Lesen Pendudukan Sementara bercantum permit sebanyak RM4 juta. Adalah dianggarkan hasil pengeluaran pasir pada tahun 2020 sebanyak RM26 juta. Penubuhan daerah kecil Gebeng yang berkeluasan 20,297 juta… yang berkeluasan 20,297 hektar bersamaan 50,155 ekar dan daerah kecil Genting, yang berkeluasan 6,668 hektar bersamaan
16,478 ekar juga akan menambahkan pendapatan langsung pe… kepada Kerajaan Negeri melalui perubahan semakan pindaan kadar cukai tanah.
Pada tahun 2020, dianggarkan daerah kecil Gebeng menyumbang hasil sebanyak RM200 juta setahun manakala daerah kecil Genting akan menyumbang hasil sebanyak RM2 juta setahun. Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan pengeluaran industri penternakan melalui pengkomersialan rizab padang ragut Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Sebanyak 73 kawasan yang melibatkan jumlah keluasan 3,784 hektar bersamaan 9,350 ekar telah dikenal pasti untuk dimajukan.
Selain daripada mengelakkan tanah terbiar diceroboh dan disalahgunakan, rizab padang ragut berkenaan akan dipajakkan secara tender terbuka untuk memberi peluang kepada pelabur yang menawarkan harga yang terbaik di samping dapat membantu pengeluaran ternakan ruminan di negeri Pahang dengan menggunakan teknologi moden. Sehingga kini, terdapat 4 kawasan yang sedang diproses untuk dipajakkan di daerah Pekan dan Kuantan.
Pelaburan dari dalam dan luar negeri adalah penting untuk negeri Pahang. Setiap pelaburan sudah pasti akan memberikan kesan limpahan positif kepada negeri dan rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya dalam sektor perindustrian sama ada tenaga buruh mahir ataupun separuh mahir. Meningkatkan KDNK negara dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang pesat, negeri Pahang telah berjaya mencapai beberapa kemajuan dalam pertumbuhan ekonomi. Pelaburan swasta di Pahang terus berkembang dengan sebahagian besarnya dipacu oleh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dan kerja-kerja infrastruktur awam.
Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri mengambil peluang untuk menarik kemasukan pelabur-pelabur baharu dengan melaksanakan beberapa misi perdagangan. Sebelum misi perdagangan diadakan, Kerajaan Negeri terlebih dahulu akan mengkaji potensi menarik pelaburan di negara-negara berkenaan termasuk dari segi faedah yang akan diperolehi kerana kita tidak mahu usaha yang dilakukan adalah sia-sia tanpa sebarang hasil.
Dalam tempoh Januari sehingga Jun 2019, pelaburan tempatan dan pelaburan asing di negeri Pahang mencatatkan nilai RM6.44 bilion. Ini melibatkan pelaburan di bawah Malaysian Investment Development Authority, ECERDC dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang. Pada tahun 2019, antara misi perdagangan yang telah Kerajaan Negeri jayakan adalah Misi Perdagangan ke Belgium, Belanda, Singapura dan terkini ke China. Insya-Allah selepas ini Kerajaan Negeri akan mengkaji peluang sektor pertanian di Thailand terutamanya dalam penggunaan teknologi moden.
Forum Pelaburan Pahang 2019 yang telah berlangsung di Singapura pada 1 Ogos 2019 yang lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menarik pelaburan kira-kira RM1.134 bilion apabila menandatangani 11 memorandum persefahaman dengan beberapa syarikat di Singapura. Antara pelaburan komited berimpak tinggi ialah MoU yang telah ditandatangani bersama Syarikat Hercules Technology Sdn. Bhd. yang akan melabur sehingga RM450 juta melibatkan 3 projek berlainan.
Projek-projek itu ialah RM200 juta untuk membangunkan pusat pembekalan simen konkrit dan RM200 juta bagi pembinaan kilang bio-komposit, manakala RM50 juta bagi penubuhan pusat latihan. Kawalan kualiti dan pensijilan produk yang akan beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng. Pihak syarikat dijangka akan menandatangani
perjanjian usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang pada tahun hadapan.
Selain itu, syarikat lain yang berminat untuk menjadikan negeri Pahang sebagai destinasi pelaburan adalah Syarikat Zhong Hai Resources Group Private Limited dengan jumlah pelaburan berjumlah RM400 juta untuk membangunkan kawasan seluas 654 ekar di Muadzam Shah, Rompin sebagai ladang solar. Bagi status terkini pelan perniagaan bagi usaha sama ini telah dirangka dan selanjutnya cadangan bagi mewujudkan terma perkongsian antara syarikat dengan PKNP akan dilakukan dalam masa yang terdekat.
Pahang juga dijangka akan menerima pelaburan daripada IBN Corporation Private Limited berjumlah RM100 juta bagi projek pembinaan kolam takungan dan pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan seluruh kawasan Genting. Dengan pembekalan air terawat ini, IBN akan menjadi pelengkap kepada kawasan yang tidak mampu dibekalkan oleh Genting Utilities and Services Sdn. Bhd.
Pahang juga bakal menerima kemasukan pelaburan dari China berjumlah RM1.386 bilion ekoran termeterainya memorandum persefahaman antara Kerajaan Negeri dengan 6 syarikat dari negara tembok besar tersebut. Keenam-enam syarikat tersebut ialah ND Paper Berhad dengan pelaburan RM522.2 juta yang akan membina kilangnya di Bentong bagi pengeluaran kertas dan pulpa. Syarikat TNP Power Sdn. Bhd. dengan nilai pelaburan berjumlah RM341.74 juta bagi membina kilang di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia - China ataupun MCKIP 1 Kuantan untuk penjanaan bersepadu tenaga dan haba.
Syarikat lain adalah China Travel Service Meizian Company Limited yang melibatkan jumlah pelaburan RM200 juta bagi menwujudkan Eco Tourism City di Bukit Tinggi Bentong. Zhong Ying Resources Regeneration Technology Sdn. Bhd. dengan RM122.4 juta nilai pelaburan bagi projek pengeluaran kertas dan hawa plastik di MCKIP 1. Bagi tujuan pelaburan ini, Zhong Ying Resources telah pun mendapat lesen pengilang daripada MIDA. Seterusnya, Wuxi Jinxie Industrial Company Limited dengan nilai pelaburan RM100 juta bagi projek pembinaan turbin angin untuk menjana tenaga di Pulau Tioman, Rompin dan akhirnya Power China Construction Group dengan nilai pelaburan RM100 juta bagi pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan.
Bagi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terlibat secara langsung dalam projek pelaburan yang baru, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk menetapkan 1% golden share diberikan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan dan 5% preference share ataupun syer keutamaan diberikan kepada syarikat berkaitan Kerajaan Negeri ataupun State GLC seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang dan sebagainya yang akan ditentukan oleh pihak kerajaan.
Taman Perindustrian Malaysia China-Kuantan ataupun MCKIP akan terus menjadi taman industri utama negeri Pahang. Pelabur utama ialah Alliance Steel Sdn. Bhd. ataupun ASSB yang telah pun menjalankan pengeluaran percubaan dengan kapasiti pengeluaran produk besi keluli antara 25 hingga 50%. Kilang ASSB ini dijangka memulakan pengeluaran sepenuhnya pada tahun 2020 dengan kapasiti 3.5 juta tan setahun. Pelaburan ASSB di MCKIP telah menawarkan 3,789 peluang pekerjaan yang mana 2,874 orang atau 75% adalah pekerja tempatan. Antara pelaburan lain yang komited dan berpotensi tinggi di Taman Perindustrian Malaysia China-Kuantan ialah Dongguan Jianhui Paper Company Limited bagi projek pengeluaran kertas dan pulpa
dengan jumlah pelaburan RM3.35 bilion dan dijangka menyediakan sekurang-kurangnya 2,000 peluang pekerjaan. TNP Power Sdn. Bhd. dengan pelaburan bernilai RM250 juta dalam projek melibatkan tenaga dan haba dan Migao Private Limited iaitu projek dalam bidang pembuatan baja potash bernilai RM300 juta. Jumlah pelaburan yang diluluskan di MCKIP dari tahun 2016 sehingga tahun 2019 adalah sebanyak RM8.279 bilion majoritinya melibatkan pelabur-pelabur dari negara China.
Melihat kepada impak positif yang akan diterima dari segi limpahan ekonomi, ianya dijangka akan dapat membantu merancakkan lagi pembangunan dan penggunaan Pelabuhan Kuantan melalui Projek East Coast Rail Link ataupun ECRL. Selain pembinaan sebuah stesen penumpang berhampiran Pelabuhan Kuantan yang akan dinamakan sebagai Station Kuantan Port City 1. Satu laluan kereta api kargo ke dalam kawasan operasi Pelabuhan Kuantan akan turut dibina dalam fasa 2 projek tersebut. Apabila siap kelak, laluan kereta api ini akan menghubungkan Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang yang bakal mewujudkan land bridge yang dijangka dapat meningkatkan mobiliti kargo di antara kedua-dua pelabuhan. Projek yang melibatkan laluan yang menghubungkan 5 buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada Disember 2026.
Ini menunjukkan betapa Kerajaan Negeri amat serius dan komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan apa jua pelaburan yang dibuat akan terus berjaya. Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan menyediakan segala prasarana industri yang terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi memenuhi keperluan pihak pelabur. Ini termasuklah 2 projek bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan Perindustrian Gebeng dan Semambu telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM619 juta. Dengan pelaksanaan projek bekalan air ini maka sistem bekalan air akan menjadi lebih baik.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pelabuhan Kuantan sedang berusaha meningkatkan keupayaan, kecekapan dan kapasiti pengendalian Pelabuhan Kuantan dengan kerjasama ECERDC dalam melaksanakan perancangan untuk membesarkan Pelabuhan Kuantan yang telah dimulakan sejak tahun 2013. Pembesaran ini merangkumi pembinaan… pembinaan terminal baharu laut dalam atau New Deep-Water Terminal serta kemudahan-kemudahan lain berkaitan. Antaranya pembinaan pemecah ombak sepanjang 4.7 km, pembinaan tangki air untuk bekalan air ke Pelabuhan Kuantan, pembangunan infrastrutkur jalan raya… jalan raya baru melibatkan pembinaan trumpet interchange dipintu utara Pelabuhan Kuantan dan pembinaan prasarana yang berkaitan. Pembinaan New Deep-Water Terminal ini dapat meningkatkan kapasiti pengendalian kargo daripada 24 juta tan setahun kepada 50 juta tan setahun. Sejak memulakan operasi pada Mac 2019, New Deep-Water Terminal telah mengendalikan kargo mineral sebanyak hampir 3.5 juta tan atau purata 500,000 tan sebulan atau 30% daripada jumlah pengendalian keseluruhan Pelabuhan Kuantan.
Ia juga telah membuka laluan baharu kepada kapal-kapal yang lebih besar sehingga 150 displacement tonne berbanding hanya 53,000 displacement tonne sahaja sebelum ini. Kemasukan kapal-kapal yang lebih besar dapat membuka peluang untuk menjadi pelabuhan pilihan yang utama di Asia Timur dan lebih berdaya saing berbanding hanya menjadi pelabuhan sokongan sebelum ini.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Industri pelancongan dijangka akan terus berkembang pada tahun 2020 terutamanya melalui kempen Visit Malaysia 2020 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan
Seni dan Budaya bagi meningkatkan sasaran kedatangan pelancong ke Malaysia seramai 30 juta pelancong antarabangsa. Pada tahun 2018, Negeri Pahang merupakan destinasi yang teratas yang dikunjungi pelancong domestik iaitu seramai 9.2 juta pelancong. Angka ini meletakkan negeri Pahang sebagai penerima pelawat domestik tertinggi diikuti negeri Johor dan negeri Perak. Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri menyasarkan ketibaan seramai 15 juta pelancong domestik dan dijangka akan menerima limpahan pelancong terutama di destinasi-destinasi seperti di Cameron Highlands, Kuantan, Genting Highlands, Pulau Tioman dan destinasi-destinasi lain.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM6 juta bagi memperku… memperkukuhkan industri ini melalui pembangunan infrastruktur untuk menarik pelaburan swasta di kawasan yang berpotensi seperti Mossy Forest di Cameron Highlands, pintu masuk kedua ke Taman Negara Merapoh dan Taman Negeri Endau, Rompin.
Kerajaan Pahang juga komited untuk melindungi dan melestarikan hidupan liar dengan mempertingkatkan lagi pewujudan Koridor Hidupan Liar dibeberapa daerah seperti Raub, Temerloh dan Lipis. Ini amat penting bagi membolehkan pergerakan hidupan liar yang lebih bebas dan selamat serta mengelakkan kepupusan setempat.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Umum mengetahui, di bawah Kerajaan Negeri setiap daerah telah pun mempunyai rumah rehatnya sendiri yang mempunyai nilai sejarah dan estetika yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Kerajaan Negeri melihat ini sebagai salah satu peluang untuk penjenamaan semula rumah-rumah rehat ini. Dengan itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM4.4 juta bagi kos baik pulih dan peralatan bagi kesemua rumah rehat yang terlibat. Urusan penjenamaan semula rumah rehat ini akan dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang.
Pada masa ini, Negeri Pahang dihubungkan dengan secara terus ke negara jiran Singapura melalui perkhidmatan penerbangan Firefly, Scoot, Air Asia dan Malaysia Airlines dengan kapasiti 975 tempat duduk dalam seminggu. Bagi meningkatkan lagi pelaburan serta pelancong dari negara China, Kerajaan Negeri dalam perbincangan bersama Guangxi Beibu Gulf Airlines bagi penerbangan terus dari Naning, Kuantan, Singapura dan sebaliknya. Langkah ini diharap dapat meningkatkan kedatangan pelancongan ke Negeri Pahang dan sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan sejajar dengan peningkatan penggunaan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah.
Kerajaan Negeri turut melihat kepentingan muzium dalam konteks pengekalan warisan, pendidikan dan sektor pelancongan. Mulai 2019, Perbadanan Muzium Negeri Pahang sedang menaik taraf Muzium Seni Pahang dan bangunan bekas Pejabat Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser di Kuantan kepada Muzium Sultan Haji Ahmad Shah. Perbadanan Muzium Negeri Pahang dengan sokongan Kerajaan Negeri juga akan sentiasa menambah baik dan mengemas kini maklumat-maklumat berkaitan dengan pameran di dalam galeri-galeri sedia ada, mempelbagaikan program dan aktiviti bagi menarik minta pengunjung. Antara program yang telah dijalankan seperti program bermalam di muzium dan The Young… The Young and Our Heritage iaitu mewujudkan mini muzium di sekolah yang terpilih.
Tenun Pahang Diraja merupakan tradisi menenun sejak berabad lalu, yang memperlihatkan secara halus hubungan di antara tradisi menenun ini dengan alam sekitar yang mencerminkan pemikiran serta jiwa rakyat masyarakat Pahang. Eratnya
hubungan dan ikatan antara raja dan rakyat seperti jalinan antara benang loseng dan pakan. Jika tiada salah satunya maka kain tenun yang cantik tidak akan dapat dihasilkan. Begitulah simboliknya hubungan antara raja dengan rakyat. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah memainkan peranan yang penting bagi memartabatkan Seni Tenun Diraja Pahang ini. Peranan dan usaha baginda dalam membantu serta mengangkat martabat Tenun Pahang Diraja keperingkat yang lebih tinggi telah membuahkan hasil dengan tertubuhnya Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam bertempat di Pulau Keladi, Pekan yang bertujuan untuk melahirkan golongan muda yang berketerampilan serta menjadi penenun mahir di dalam Institusi Tenun Pahang Diraja. Bagi memperkasakan lagi industri Tenun Pahang Diraja, Kerajaan Negeri berhasrat agar hari Khamis minggu pertama setiap bulan dijadikan Hari Tenun Pahang Diraja. Maknanya setiap hari Khamis bulan pertama kena pakai baju… kain tenun Pahang. Jadi kepada rakan-rakan yang tak ada, bolehlah beli ya. Yang tak ada duit, boleh minta dengan Exco Pelancongan. (Ahli Dewan ketawa).
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Bagi sektor pertanian, pada tahun 2020 Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM9.23 juta bagi memartabatkan industri pertanian melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan program pembangunan industri asas tani dan buah-buahan dengan memperuntukan sebanyak RM5 juta secara keseluruhannya untuk membantu Jabatan Pertanian Negeri Pahang dalam usaha meningkatkan pengeluaran bahan makanan, terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran untuk keperluan rakyat. Selaras dengan hasrat pucuk pimpinan Kerajaan Negeri yang ingin melihat negeri Pahang sebagai pengeluar utama bahan makanan di negara ini, Jabatan Pertanian akan membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan ataupun TKPM yang terbesar bagi sayur-sayuran dan tanaman kontan seluas 80 hektar bersamaan 200 ekar di daerah Kuantan. Sebanyak RM1.3 juta disediakan pada tahun 2020 bagi Projek TKPM ini antaranya termasuklah di TKPM Jelai, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk menambah baik kemudahan dan penyelenggaraan di kawasan projek pertanian berkenaan.
Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM4.9 juta untuk Program Pembangunan Ruminan dan Projek Rintis Tenusu bagi memastikan pembangunan industri ternakan ditingkatkan sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri bagi mencapai hasrat sebagai pengeluar utama ternakan dan makanan negara. Latihan kepada petani turut dilaksanakan bagi mempelbagaikan kemahiran petani dan pengusaha industri asas tani. Justeru itu, sebanyak 414 kursus dan latihan telah dirancang sepanjang tahun 2020 dengan penglibatan seramai 8280 orang petani di negeri Pahang.
Pembangunan industri pengeluaran makanan berasaskan ternakan terutama dalam industri ruminan iaitu pedaging dan tenusu boleh menjadi sumber kekayaan baharu bagi negeri Pahang. Nilai pengeluaran ternakan bagi negeri Pahang pada tahun 2018 hampir mencecah RM1.47 bilion dimana komoditi daging, ayam merupakan penyumbang utama iaitu RM711 juta. Ianya diikuti pengeluaran sarang walit berjumlah RM463 juta, telur ayam RM123 juta, daging lembu dan kerbau sebanyak RM108 juta. Susu RM17.8 juta dan komoditi lain berjumlah RM47.2 juta.
Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM450,000.00 bagi sektor perikanan yang meliputi 3 projek pemuliharaan sumber perikanan darat iaitu RM150,000.00 untuk khidmat perkembangan aquaculture, RM100,000.00 diperuntukkan bagi
program pembangunan komuniti nelayan darat dan RM200,000.00 untuk pengurusan sumber perikanan marin secara mampan. Selain itu sejumlah RM1.2 juta telah disediakan bagi membaiki menaik taraf Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri, daerah dan pusat veterinar termasuk kuarters yang telah uzur bagi memastikan keselesaan kepada pelanggan dan kakitangan terjamin. Ini termasuklah kerja-kerja menaik taraf pusat sumber genetik ternakan Bukit Kajang, Raub dan PSGT Lepar, Kuantan dengan kos RM600,000.00 bagi menghasilkan baka lembu Kedah-Kelantan dan Brahman yang berkualiti dan untuk diagihkan kepada penternak.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Sumber hutan merupakan aset semulajadi yang terpenting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri. Pengurusan hutan memerlukan kebijaksanaan bagi mengimbangi permintaan pasaran terhadap pelbagai keluaran dan perkhidmatan hutan yang sentiasa berubah. Jumlah keluasan hutan di Negeri Pahang sehingga Oktober 2019 adalah seluas 2.05 juta hektar bersamaan 6 juta ekar atau 57% daripada keluasan tanah negeri yang bersaiz 3.6 juta hektar bersamaan 8.8 juta ekar. Sektor perhutanan akan terus memainkan peranannya sebagai salah satu penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Negeri. Sehingga 15 November 2019, pungutan cukai hasil hutan adalah sebanyak RM80.7 juta. Sektor ini akan terus menjadi salah satu penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri dengan jangkaan sumbangan hasil bagi tahun 2020 berjumlah RM165 juta melalui kutipan premium, royalti dan caj-caj lain.
Projek-projek teras dan utama akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sektor perhutanan merangkumi projek pembangunan berlandaskan penghutanan semula, penanaman semula dan pemulihan hutan. Dalam meningkatkan usaha bagi kutipan hasil hutan, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan untuk aktiviti memulihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, air dan tanah untuk memastikan pengekalan dan penggunaannya secara terurus dan terancang. Projek-projek yang berkaitan dengan eko-pelancongan dan biodiversiti hutan akan terus dijalankan bagi memastikan aspek kestabilan dan pengekalan alam sekitar terpelihara. Usaha Kerajaan Negeri dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi dan khazanah biodiversiti diteruskan dengan perancangan ke arah penggubalan Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang. Enakmen ini dirangka bagi melindungi kepentingan negeri dan rakyat daripada kehilangan hasil penyelidikan serta pengetahuan turun-temurun kepada orang luar tanpa memberi apa-apa pulangan kepada pihak yang sepatutnya.
Bagi usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di Pahang, Kerajaan Negeri telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Carbon Trading bersama sektor korporat. Memorandum ini bertujuan untuk menjalankan kajian bersama bagi melihat potensi penjanaan pendapatan baharu melalui penggunaan Carbon Credit di kawasan-kawasan konservasi di Negeri Pahang di samping menilai keupayaan terhadap potensi pelaksanaan projek bagi memelihara dan memulihara alam sekitar.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Strategi kedua iaitu memperkasakan perkhidmatan dan modal insan. Dalam usaha memantapkan pentadbiran Kerajaan Negeri, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah ataupun PPSAS sedang dibangunkan yang bakal menggantikan Wisma Sri Pahang yang telah berusia 49 tahun. Semua pentadbiran kerajaan akan dikelompokkan dalam satu kawasan yang lebih terancang bagi memudahkan rakyat berurusan dan di
samping mempercepatkan sistem penyampaian. PPSAS ataupun Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah akan menjadi ikon terbaharu Negeri Pahang dengan reka bentuk bangunan kompleksnya diinspirasikan daripada Jata Negeri. Ia juga mengaplikasikan teknologi hijau demi penekanan kepada pemuliharaan alam sekitar. Tarikh pemilikan dan pembinaan projek ini bermula pada tahun 2016 dan dijangka akan siap pada tahun hadapan.
Pahang Corporation Sdn. Bhd. merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang ditubuhkan pada 21 Mac 2019. Ia memainkan peranan sebagai satu badan komersial khas yang bertanggungjawab memantau, menyelaras dan menjalankan kerjasama strategik dengan badan-badan berkanun negeri di samping menilai cadangan-cadangan pelaburan agar Kerajaan Negeri mendapat pulangan terbaik. Pahang Corporation kini sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembaharuan dalam pengurusan aset-aset kerajaan bagi tujuan peningkatan kecekapan dan mengurangkan perbelanjaan modal dan kos selenggara. Contohnya menerusi model Penyumber Luaran Fleet Kenderaan Kerajaan, melalui model pengurusan yang baharu, Kerajaan Negeri tidak lagi perlu membuat perolehan kenderaan yang baharu tetapi hanya membayar kos penyewaan kenderaan tersebut. Dengan ini, Kerajaan Negeri tidak perlu menanggung kos selenggara yang tinggi dan semakin meningkat setiap tahun.
Kerajaan Negeri juga melalui anak syarikatnya, PahangGo telah pun membangunkan platform kutipan hasil negeri secara digital. Bayaran bil utiliti, cukai dan pembayaran kompaun kini boleh dibuat melalui aplikasi mobile dan portal. Dengan adanya platform ini, rakyat akan lebih mudah untuk membuat semakan tunggakan dan seterusnya membuat pembayaran. Usaha ini akan meningkatkan kutipan kompaun yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak 20% menjelang tahun 2020. PahangGo juga akan mewujudkan pusat pengumpulan data berpusat dengan menempatkan pelayan ataupun server dan pangkalan data untuk agensi kerajaan dan PBT di satu lokasi. Langkah ini akan membolehkan pemeriksaan bertindih ataupun cross checking dilakukan bagi setiap urusan. Selain itu, dalam meningkatkan mutu pengurusan Kerajaan Negeri, PahangGo dipertanggungjawabkan untuk memoden dan mendigitalkan sistem pengurusan kerajaan melalui sistem yang lebih terkini dan memudahkan rakyat.
Antara inisiatif yang sedang dibangunkan ialah sistem parkir secara mobile di mana 50 ribu petak parkir milik sebelas PBT akan diuruskan secara digital yang merupakan salah satu pilihan kepada kaedah pembayaran parkir menggunakan kupon pada ketika ini telah boleh dimuat turun bermula 23 Oktober 2019. Kerajaan Negeri juga menubuhkan satu Unit Antarabangsa untuk membina jaringan strategik dengan agensi-agensi di peringkat antarabangsa bagi tujuan pembangunan kapasiti, sumber manusia, peluang pelaburan dan perniagaan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam meningkatkan perkhidmatan sistem penyampaian kerajaan demi kesejahteraan rakyat. Penubuhan Daerah Kecil Muadzam Shah dan Daerah Kecil Jelai adalah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pengukuhan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat. Selain bertindak sebagai barisan hadapan jentera kerajaan dalam memudahcara penyampaian dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat setempat sama ada daripada kawasan bandar mahupun luar bandar. Inisiatif ini dibuat bagi memastikan tadbir urus dan perkhidmatan yang lebih berkesan dan cepat dapat disalurkan kepada rakyat. Kerajaan Negeri dalam Sidang Dewan ini
akan membentangkan kertas penubuhan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands yang bertujuan untuk merancang pembangunan di daerah Cameron Highlands selain bertindak sebagai agen pelaburan di daerah tersebut. Selain itu juga, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands ini akan merangka, merancang dan mengawal pembangunan kawasan tanah tinggi secara bersepadu dengan mengekalkan kelestarian tanah tinggi dan mengambil kira keperluan pembangunan ekonomi meliputi pelancongan, pertanian dan penempatan. Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands ini kelak akan mengolah semula sistem lesen pendudukan sementara bagi aktiviti pertanian dengan cara pajakan jangka pendek dan secara tidak langsung dapat membangunkan sosio-ekonomi setempat.
Pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang dalam kajian untuk menubuhkan semula Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka yang telah dibubarkan secara rasmi pada 1 November 2000. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri menyokong cadangan penubuhan semula DARA dan LKWJ dengan syarat peruntukan tahunan bagi tujuan pengurusan dan pembangunan wilayah berkenaan perlu disalurkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau agensi Persekutuan lainnya, sama seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah ataupun KEDA, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ataupun KETENGAH, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan ataupun KESEDAR, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Pulau Pinang (PERDA), manakala pentadbirannya hendaklah tidak menghakiskan kuasa dan kawalan negeri ke atasnya. Kaedah terbaik bagi pelaksanaan cadangan ini juga hendaklah dirunding dengan pihak negeri sebelum dimuktamadkan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini adalah merupakan perantara di peringkat akar umbi yang akan menyalurkan maklumat, dasar-dasar kerajaan, permasalahan atau aduan rakyat kepada pihak-pihak yang berkuasa dan berkaitan terhadap sesuatu isu yang timbul. MPKK telah ditubuhkan atas persetujuan bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebelum ini telah berjalan dengan baik dan harmoni. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk mewujudkan MPKK Persekutuan yang berasingan. Ini merupakan langkah yang ke belakang.
Tindakan ini hanya akan mewujudkan jurang persefahaman antara dua organisasi yang akan memecah belahkan penduduk kampung. Sekiranya Kerajaan Persekutuan meneruskan langkah menubuhkan MPKKP, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung bermula pada 1 Januari 2020 dengan peruntukan RM7 juta. [Ahli Dewan menepuk meja] Kalau dulunya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung tapi kalau MPKKP ditubuhkan, kita tukar keselamatan kepada kemakmuran yang menjadikan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung. Walau bagaimanapun, kita berharap supaya MPKKP ini tidak …apa ni… ditubuhkan lah ya... supaya MPKK yang ada sekarang diteruskan. Sebab sekarang ni dah berjalan elok dah. Tak ada masalah, di kampung pun harmoni, jadi kalau sekiranya ditubuhkan juga yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kita dapat tahu lah macam mana standard Kerajaan Pakatan Harapan yang ada pada hari ini, tujuan nya adalah tidak lain tidak bukan untuk me… memecah belahkan masyarakat di luar bandar kalau sekiranya mereka tubuhkan juga MPKKP ini.
Bagi sektor pendidikan, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang turut menyediakan Biasiswa Sekolah Rendah dan Biasiswa Sekolah Menengah kepada murid di seluruh negeri Pahang. Sepanjang lebih 3 dekad, jumlah bantuan pendidikan dan kebajikan yang telah dike… dikeluarkan adalah lebih RM1.2 bilion melibatkan 1.4 juta penerima. Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, Biasiswa Sekolah Rendah telah memanfaatkan 108 ribu murid dengan implikasi kewangan berjumlah lebih RM74 juta. Diperingkat sekolah menengah, Biasiswa Sekolah Menengah yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM290 juta dan telah dimanfaatkan seramai 169 ribu murid.
Bagi tahun 2020, agihan biasiswa ini akan memberi manfaat kepada 49,720 pelajar penerima Biasiswa Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah dengan peruntukan berjumlah RM23.59 juta. Yayasan Pahang juga akan memperuntukkan RM5 juta bagi meneruskan pemberian Geran Bantuan Pelajar ke IPT secara one-off kepada 11,000 anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran.
Program Pendidikan Agama akan terus memberi fokus kepada pengukuhan pendekatan ajaran Islam bagi melahirkan generasi yang mempunyai jati diri dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran transformasi dan arus globalisasi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM114 ribu bagi membiayai Program Kelas Tahfiz Bistari di Sekolah Kebangsaan Tg. Gahai, Kuala Lipis dan RM27 ribu bagi Program Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Remaja di FELDA Sungai Koyan bagi tahun 2020.
Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi pembayaran elaun kepada 350 orang guru kelas al-Quran asrama yang bertanggungjawab mendidik para pelajar sekolah rendah dan menengah yang tinggal di asrama seluruh Negeri Pahang sama ada di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri, mahupun di Sekolah Rendah Kebangsaan dan Menengah Kebangsaan.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membangunkan sistem e-Munakahat yang melibatkan kos berjumlah RM929 ribu yang mempunyai fungsi lebih terperinci bagi memastikan setiap urusan penceraian dan permohonan khidmat nasihat direkodkan dengan lebih berkesan. Kerajaan Negeri kini dalam melaksanakan proses pengimejan digital bagi sijil nikah, cerai dan rujuk dengan kerjasama Percetakan Nasional Malaysia Berhad yang dimulakan awal tahun 2019.
Bagi melahirkan pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri yang lebih kompetitif, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM72.6 juta dalam belanjawan tahun 2020 bagi memperkasakan misi pendidikan bagi melahirkan pelajar aliran agama yang lebih kompetitif. Ini termasuklah emolumen guru Sekolah Menengah Agama Negeri berjumlah RM30.77 juta, elaun guru agama dan al-Quran asrama berjumlah RM4.32 juta dan RM37.55 juta bagi bekalan dan perkhidmatan.
Bagi menyediakan persekitaran yang kondusif kepada semua pelajar, RM3 juta juga telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi tujuan penyelenggaraan bagi semua Sekolah Menengah Agama Negeri di Pahang. Bagi memperkasakan ilmu falak, Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan sebanyak RM558 ribu bagi perolehan peralatan falak dan percetakan buku sukatan Kokurikulum Falak Sekolah Menengah Agama Negeri bagi melahirkan pelapis sebagai penyambung, pengembang serta pengamal ilmu falak yang memenuhi piawaian pihak berkuasa kepada generasi yang akan datang.
Kerajaan Negeri melalui Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah juga telah mengambil inisiatif dengan menjadikan pusat rujukan dalam memperkasakan tulisan jawi dan Pusat Akademik Hadis sebagaimana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sehingga kini, KUIPSAS telah menawarkan 28 program asasi sehinggalah ke peringkat Sarjana dan akan berkembang ke peringkat PhD pada tahun 2020. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak… Kerajaan Negeri juga memperuntukkan bagi tahun 2020 sebanyak RM832 ribu untuk pembangunan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah bagi tujuan langganan buku jurnal, menambah baik kemudahan asrama, pemberian Geran Pembangunan dan Penyelidikan Inovasi, Pembangunan Akademik Kakitangan serta naik taraf infrastruktur rangkaian kawasan setempat.
Kerajaan Negeri melalui inisiatif Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang akan terus menyedia… menyediakan latihan kemahiran dengan menekankan aspek pembangunan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan serta relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan. Selain itu, Pahang Skills telah menandatangani MoU dengan 12 syarikat antaranya Lynas Malaysia Sdn. Bhd., MKRS Bumi Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang dan lain-lain bagi menjalin kerjasama strategik dalam mem… dalam membentuk sumbangan kepakaran atau mesin peralatan serta melatih tenaga kerja mahir dalam bidang khusus yang amat diperlukan dalam industri.
Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri telah mem… memperuntukkan RM1.18 juta bagi tujuan penggantian, naik taraf, selenggara peralatan makmal sedia ada dan makmal baru, penyenggaraan bangunan dan kampus.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang telah membuat inisiatif memperkenalkan Program Buat Kerja Sekolah. Inisiatif ini berikutan maklum balas dan keluhan oleh ibu bapa kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang bahawa masih ramai anak-anak yang tidak menyiapkan kerja sekolah. Program ini juga mendapat kerjasama erat daripada Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan yang telah melibatkan seramai 13,350 orang pelajar turut serta dalam program ini di seluruh daerah dalam negeri Pahang.
Matlamat daripada Program ini adalah untuk membantu pelajar membuat kerja sekolah dengan selesa di perpustakaan serta dapat membantu pelajar memperolehi bahan yang diperlukan dari koleksi sedia ada dan internet. Selain itu, melalui program ini juga pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang dapat bekerjasama dengan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak mereka membuat kerja sekolah di perpustakaan sekaligus memanfaatkan kemudahan yang ada.
Pihak Kerajaan Negeri juga komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan awam ke arah people centric serta meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan. Bagi mencapai hasrat ini, penggunaan teknologi maklumat perlu digarapkan bersekali dan disimulasikan dalam proses kerja semasa demi menghasilkan penyampaian perkhidmatan yang memenuhi ekspektasi pelanggan dan rakyat.
Pihak Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tambahan sewaan rangkaian sebanyak RM1.6 juta bagi menghubungkan pejabat-pejabat kerajaan di daerah dan mukim dengan ibu pejabat masing-masing menggunakan sambungan rangkaian internet yang lebih baik bagi membolehkan semua penyampaian perkhidmatan dapat
dilaksanakan. Bagi memastikan capaian ini dapat berfungsi dengan baik, pembaharuan lesen-lesen perisian Information and Communications Technology (ICT) juga perlu dilaksanakan di mana peruntukan adalah berjumlah RM1.5 juta akan disediakan. Bagi tahun 2020, peruntukan sebanyak RM1.7 juta akan disediakan bagi menaik taraf kapasiti simpanan data di Pusat Data Utama Negeri, naik taraf server di Pusat Pemulihan Bencana, penggantian infrastructure switch rangkaian di 14 Pejabat Agama Islam Daerah dan 18 buah Sekolah Menengah Agama Negeri serta penggantian kemudahan ICT di kaunter-kaunter kutipan hasil yang telah dikenalpasti. Dengan peningkatan kapasiti rangkaian dan penggunaan perisian yang terkini ini, diharapkan penyampaian perkhidmatan agensi-agensi Kerajaan Negeri akan menjadi lebaik… lebih baik dan produktif.
Selain dari itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhkan Unit Komunikasi dan Media Negeri Pahang ataupun UKOMP sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan imej Kerajaan Negeri melalui strategi penyampaian maklumat perkhidmatan yang cepat dan berkesan. Melalui UKOMP, penyalur… penyaluran maklumat dari pihak Kerajaan Negeri akan dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran dengan lebih pantas, tepat dan berkesan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat. Dalam keadaan situasi kewangan yang sedia ada, Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan usaha dan program pembangunan untuk mensejahterakan kebajikan rakyat dengan meneruskan bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti Orang Kelainan Upaya, pesakit kronik, ibu tunggal yang miskin dan anak-anak yatim.
Bagi tahun 2020, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diperuntukkan sejumlah RM13.71 juta untuk penerima Bantuan Am. Seramai 3,808 orang akan terus mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut dengan kadar bantuan RM300.00 sebulan. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memperuntukkan maksimum RM1000.00 kepada mangsa bencana alam yang layak melalui Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang.
Kerajaan Negeri juga sentiasa prihatin dan mengambil berat berkaitan perkembangan aktiviti sukan dengan memastikan program pembangunan sukan negeri dirancang dan dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh bagi mencapai objektif yang ditetapkan.
Untuk menghadapi SUKMA ke-20 pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah 200 juta… RM2 juta… Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta sebagai persediaan atlet. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM120 ribu bagi pembelian 3 unit perahu layar di bawah Majlis Sukan Pahang. Sebanyak RM200,000.00 juga telah diperuntukkan pada tahun 2020 bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan sukan. Golongan belia akan terus diperkasakan dengan pelbagai aktiviti dan program yang dapat membentuk jati diri. Mereka akan dibentuk dengan acuan yang berteraskan pelbagai kemahiran, pengetahuan dengan menampilkan semangat patriotisme yang tinggi bagi menghadapi cabaran globalisasi di samping menjadi penyumbang utama pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan Negeri juga turut memberi perhatian kepada Pembangunan Orang Asli dengan pelaksanaan program-program pembangunan infrastruktur asas, peningkatan intelek dan pendidikan, dan pengupayaan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat. Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Unit Orang Asli bagi memantau 262 buah Kampung Orang Asli yang menempatkan hampir 76,697 orang penduduk. Ianya berfungsi sebagai agen penyampaian perkhidmatan dan maklumat dari Kerajaan Negeri kepada penduduk Orang Asli selain mengurangkan keber… kebergantungan Kerajaan Negeri kepada Agensi Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Selain itu juga, usahasama Kerajaan Negeri dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri bagi penanaman durian di kawasan rizab Orang Asli sebagai satu usaha bagi meningkatkan pendapatan dan tahap ekonomi Orang Asli sedang diusahakan. Jabatan Perhutanan dalam proses mengenal pasti kesesuaian tapak lokasi yang dipilih.
Kerajaan Negeri juga bersetuju meneruskan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar ajaran Islam kepada masyarakat Orang Asli. Kurikulum PETAMA telah diiktiraf dan dinaiktaraf mengikut keperluan pembangunan sumber manusia negara.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Wanita merupakan tulang belakang kepada pembangunan bangsa dan agama. Justeru, peranan yang dimainkan oleh wanita adalah penting dalam pembentukan keluarga, perpaduan, pembangunan masyarakat dan negara. Bagi memastikan usaha ini lebih fokus, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju mewujudkan Unit Pembangunan Wanita yang akan merangka pelan tindakan bagi memastikan keterlibatan dan membolehkan capaian komunikasi kepada akar umbi dapat dibuat dengan cepat dan tepat. Majlis Pembangunan Wanita Pahang di peringkat Parlimen turut akan diwujudkan di mana peruntukan sebanyak RM140,000.00 disediakan bagi menampung perbelanjaan penubuhan majlis ini. Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita di peringkat Parlimen akan dipilih daripada wanita-wanita yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan berkongsi kesungguhan dalam memperkasakan peranan wanita. Ini idea Yang Berhormat ADN daripada Kuala Sentul.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan Negeri terus memberi penekanan yang serius ke atas pembangunan di setiap pelusuk daerah untuk terus mendapat kemudahan terbaik. Kesejahteraan ekonomi yang berterusan adalah sasaran utama yang bakal memberi manfaat hampir 1.67 juta penduduk di Negeri Pahang.
Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah RM120 juta bagi memacu agenda pembangunan dengan membiayai lebih daripada 150 projek, sejumlah RM85 juta akan menggunakan pembiayaan secara langsung, manakala baki RM35 juta adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air.
Bagi memberi impak terus kepada golongan sasaran, sejumlah RM23 juta telah diperuntukkan bagi pelbagai projek pembangunan antaranya adalah projek kecil negeri, projek khas kampung serta projek kecil yang berupaya meneruskan momentum pembangunan masyarakat luar bandar di samping menjamin pentadbiran daerah yang berkesan.
Perumahan merupakan Sektor Utama yang sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan usaha menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti untuk dinikmati oleh rakyat. Melalui Projek Rumah Mampu Milik iaitu PR1MA Pahang, sehingga Oktober 2019, 17 projek yang telah lengkap Certificate of Completion and Compliance (CCC) iaitu bersamaan dengan 3842 buah rumah yang siap diduduki oleh rakyat di seluruh Negeri Pahang.
Kerajaan Negeri juga turut mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah dengan memperkenalkan Projek Rumah Makmur yang menawarkan rumah teres setingkat mampu milik berharga RM80,000.00 bagi isi rumah yang berpendapatan di bawah RM5,000.00 sebulan. Sehingga 31 Oktober 2019 sebanyak 21 projek dengan jumlah rumah sebanyak 7,088 unit rumah telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuh (7) daerah.
Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 1,000 buah unit PRIMA Pahang akan dapat disiapkan dan 2,000 tawaran rumah yang merangkumi projek PR1MA Pahang dan Rumah Makmur.
Dalam pembentangan belanjawan tahun 2019 yang lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Tabung Perumahan Rakyat Pahang. Sebagai permulaan, tabung ini telahpun mula menerima sumbangan iaitu sebanyak hampir RM216,000.00 bagi tahun pertama. Nilai ini dijangkakan akan bertambah sehingga RM6 juta pada tahun 2020.
Tabung Amanah Bencana Kerajaan Negeri diwujudkan untuk membantu mangsa-mangsa bencana dari aspek keperluan asas rumah, pakaian, persekolahan dan pengangkutan, selain itu, ianya turut digunakan untuk penyelenggaraan dan pembaikian rumah dan premis yang terlibat dengan bencana. Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM441,000.00 untuk membantu mangsa-mangsa yang ditimpa bencana. Selain itu, sebagai contoh bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh ini, Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perbelanjaan menghadapi bencana.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Negeri Pahang merupakan negeri yang mempunyai sumber air yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Namun begitu, bagi pembekalan air bersih kepada rakyat, sumber air ini perlulah dirawat terlebih dahulu dan dengan kadar tarif sedia ada. Sehingga 31 Mei 2019, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menanggung kos operasi dan pentadbiran sebanyak RM300 juta setahun. Erti kata yang lain, pihak PAIP beroperasi dengan kerugian sebanyak RM25 juta sebulan.
Sungguh pun begitu, Kerajaan Negeri juga amat merasai keluh resah rakyat berkenaan gangguan bekalan air yang sering berlaku, contohnya di daerah Temerloh dan Raub. Bagi memastikan rakyat Negeri Pahang mendapat bekalan air yang berkualiti dan berterusan, Kerajaan Negeri bercadang untuk meliberalisasikan industri perkhidmatan bekalan air di mana langkah ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan menghasilkan tarif yang lebih berdaya saing.
Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang memperhalusi beberapa cadangan daripada pemain-pemain industri berkenaan seperti Ranhill Holdings Berhad, YTL Power International Berhad dan Salcon Berhad yang menunjukkan minat untuk melabur di Pahang. Walau bagaimanapun, perkara ini akan diteliti dengan rapi bagi memastikan
kepentingan Kerajaan Negeri terpelihara dan rakyat memperoleh manfaat yang sepatutnya.
Kerajaan Persekutuan memberikan persetujuan supaya pinjaman Kerajaan Persekutuan berkaitan bekalan air diambil alih daripada Kerajaan Negeri dan di inovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Kerajaan Negeri tidak akan bertanggungjawab ke atas pinjaman tersebut. Melalui penstrukturan ini, pinjaman bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar yang berjumlah RM1.01 billion akan dihapuskira dan baki pinjaman ini akan ditanggung semula oleh Pengurusan Air Pahang (PAIP) secara sewa pajakan selama 45 tahun.
Bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah memperuntukkan lebih RM1.019 bilion untuk melaksanakan projek pembangunan fasiliti kesihatan sebanyak 26 projek sambungan dan empat (4) projek baharu terdiri daripada dua (2) projek hospital baru, lapan (8) Projek naiktaraf Hospital, (14) projek Klinik Kesihatan dengan kuarters, dua (2) Projek Klinik Kesihatan sahaja, dan tiga (3) Projek Pembinaan Kuarters dan satu (1) Projek Klinik Pergigian.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan Negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus berusaha supaya kadar Indeks Jenayah di Negeri Pahang berada dalam keadaan terkawal. Antara program yang telah dirangka bagi meneruskan usaha pada tahun 2020 bagi membendung kejadian jenayah dan masalah sosial di kalangan masyarakat Pahang adalah OPS RUMAH SELAMAT di musim perayaan dan Program Pencegahan Jenayah yang dijalankan di peringkat sekolah dan kampung-kampung. Melalui program ini diharapkan pihak masyarakat dapat memberikan kerjasama kepada polis, insya-Allah kadar jenayah akan dapat dikurangkan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan untuk menyembahkan setinggi-tinggi junjung kasih ke sisi Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Di sebalik komitmen dengan urusan seharian selaku Raja Pemerintah untuk negara yang bersemayam di Istana Negara, hal-hal berkaitan negeri tumpah darah Baginda di Negeri Pahang Darul Makmur sentiasa dekat dihati.
Oleh sebab itulah juga, apabila rakyat jelata di negeri ini ditimpa musibah dan bencana, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berkenan bercemar duli menziarahi serta menitahkan bantuan segera dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan khususnya Kerajaan Negeri.
Dengan ini, Kerajaan Negeri sendiri sentiasa sahaja bersiap-siaga dalam apa jua keadaan sekali pun dan ini tentunya baik demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat jelata. Menjunjung kasih, Tuanku.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
‘Kapal tidak akan mampu belayar tanpa nahkhodanya, kapal tanpa pembantu juga tidak akan mampu memacu arah tujunya, begitulah moleknya hubungan kerjasama dan kebergantungan sesama kita’.
Dengan ini saya mewakili pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua rakan-rakan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan kesemua Ahli-ahli Dewan Negeri sama ada daripada kerajaan, rakan-rakan ADN PAS menerusi gagasan Muafakat Nasional, mahupun pembangkang, yang telah memberikan kerjasama baik semasa kita berada pada persidangan Dewan ini.
Tidak lupa juga sekalung tahniah atas segala jasa dan pengorbanan penjawat awam selaku jentera pelaksana kepada segala dasar dan pembangunan negeri. Penjawat awam diibaratkan tulang belakang kerajaan dan pencapaian yang kita kecapi sehingga kini tidak akan dapat diperolehi tanpa komitmen yang jitu, tanpa mereka pincanglah urus tadbir negeri.
Marilah kita bersatu padu, Tekadkan hati berganding bahu, Agenda Pembangunan telah diseru, Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM750.00 (ahli dewan tepuk meja) kepada kesemua kakitangan kerajaan tanpa peng… pengecualian gred, kerana pencapaian yang kita perolehi hari ini adalah hasil usaha padu kita semua. Dengan kata lain Yang Berhormat Yang di-Pertua semua penjawat awam negeri Pahang ini daripada gred yang setinggi-tingginya sampai yang serendahnya akan mendapat sebanyak RM750.00 (Ahli Dewan tepuk meja). Seramai 8,000 penjawat awam akan menerima manfaat tersebut dan pembayaran dibuat pada bulan Disember ini. Jumlah peruntukan untuk Bayaran Khas Kewangan ini adalah sebanyak RM6 juta. (ahli dewan tepuk meja)
Untuk makluman juga, pemberian Bantuan Khas Kewangan ini bertambah berbanding dengan tahun lepas yang berjumlah RM500.00 dan insya-Allah, pada tahun yang mendatang, sekiranya prestasi kewangan negeri bertambah kukuh, tidak mustahil Kerajaan Negeri akan memberikan Bantuan Khas Kewangan ini dengan lebih lagi, ataupun dengan bahasa mudahnya ‘bagi tetap bagi, sikit banyak cerita lain’. (Ahli Dewan ketawa)
Yang Berhormat Yang di-Pertua,
Harapan Kerajaan Negeri ialah agar pemberian ini dihargai semua, dan dapatlah juga kita sama-sama memahami akan falsafah ‘Jika berbelanja janganlah sampai boros, dan jika berjimat janganlah sampai kedekut’.
Kepinggir hutan bersama rakan Memungut petai berpapan-papan Selesai sudah saya bentangkan Belanjawan negeri tahun hadapan (ahli dewan tepuk meja)
Memungut petai berpapan-papan Sesudah pungut pulang ke rumah Belanjawan negeri tahun hadapan Mohon bahaslah dengan berhemah (ahli dewan tepuk meja)
Sesudah pungut pulang ke rumah Peraih dah tunggu di dalam lori Mohon bahaslah dengan berhemah Demi kemuliaan Dewan Negeri
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Saya dengan ini membentangkan Belanjawan 2020 dan saya mohon mendapat sokongan semua, insya-Allah. Saya mohon mencadangkan. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ada sokongan?
Tuan Yang di-Pertua,
Saya memohon izin menyokong cadangan itu.
Terima kasih. Baiklah, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-undang ini telah dicadang dan disokong untuk dibaca untuk kali yang kedua. Sebelum perkara ini dibuka untuk dibahaskan sukacita saya menarik perhatian Yang Berhormat sekalian kepada Peraturan 66 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negeri dimana perbahasan mengenai Rang Undang-undang ini mestilah ditangguhkan sekurang-kurangnya 1 jam. Oleh itu saya bercadang perbahasan atas Rang Undang-undang ini akan dimulakan pada hari esok, Selasa, 19 November 2019 dan akan dibahaskan bersekali dengan Usul Anggar… Anggaran Pembangunan Dan Perbekalan Air 2020 yang akan dibentangkan sebentar lagi. Sekarang mesyuarat beralih kepada agenda selanjutnya.
Usul Anggaran Pembangunan Dan Perbekalan Air 2020Motion
Perkara Keempat: Usul. Usul Anggaran Pembangunan dan Perbekalan Air 2020, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon izin untuk bawa satu usul di Dewan yang mulia ini yang berbunyi,
“Bahawa Dewan ini mengikut peruntukan Seksyen 9 Akta Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan mengikut ketetapan yang menubuhkan Kumpulan Wang Pembangunan Dan Kumpulan Wang Perbekalan Air dengan ini bersetuju meluluskan Anggaran Perbelanjaan bagi 2020 daripada kumpulan wang tersebut itu sebagaimana yang ditetapkan di dalam rang anggaran perbelanjaan Bahagian 2 dan 3 2020 yang dibentangkan di dalam persidangan ini. Kertas DN 34/2019.”
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya berharap agar usaha yang saya bentangkan ini akan mendapat sokongan dan kelulusan Dewan yang mulia ini.
Sokongan.
Yang Berhormat. DATO’ MUSTAPA BIN LONG
Yang Berhormat… Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon menyokong usul yang telah dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya akan menempohkan perbahasan usul ini untuk dibahaskan bersama-sama Rang Undang-undang Perbekalan 2020 (2019) pada hari Selasa 19 November 2019. Sebelum saya menempohkan persidangan ini, seperti sukacita saya memaklumkan menjemput semua ahli-ahli Yang Berhormat ke jamuan tengah hari di Tingkat 7, Bilik Gerakan Negeri, selepas ini dan seterusnya ke Taklimat Pembangunan dan Pelaburan Negeri Pahang selepas itu. Persidangan ditempohkan dan akan disambung semula pada hari esok, Selasa, 19 November 2019 jam 9.30 pagi. Sekian terima kasih. Assalamualaikum WBT.
[Persidangan ditempohkan jam 12.40 tengah hari]