Pahang · 20 April 2020
14th Assembly, 3rd session, 1st meeting · 95 turns · 11,115 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari Isnin
: 20 April 2020
Bersamaan
: 26 Sya’ban 1441 Hijriah
Masa
: 11.00 pagi
DOA
Perkara Pertama: Doa.
Al-Fatihah [bacaan ayat al-Quran]. Segala puji bagi Allah dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan Taufik-Mu, dipohonkan menyuluh memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduknya sekalian. [bacaan al-Quran]. Amin, Amin Ya Rabbal A’lamin.
Assalamualaikum wbt. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Alhamdullilah, marilah kita bersama-sama melafazkan rasa kesyukuran setinggi-tingginya kepada Allah S.W.T. atas taufik, inayah dan keizinan jua kita dapat bersama-sama berada dalam Dewan Yang Mulia ini bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum saya melanjutkan aturan urusan mesyuarat sepertimana yang kita maklum kita sedang bermesyuarat pagi ini dalam suasana negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang amat mencemaskan. Justeru itu, sukacita saya menyampaikan rasa kurang keselesaan bagi mematuhi saranan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan beberapa perubahan perlu dibuat dan dipatuhi. Antaranya jarak kedudukan kerusi-kerusi Yang Berhormat terpaksa direnggangkan lebih kurang 1 meter mengikut penjarakan sosial dan kesesuaian yang ada yang menyebabkan Ahli-ahli Yang Berhormat berada di barisan belakang, yang dahulunya diduduki Ketua-ketua Jabatan, tidak ada pembesar suara yang khas. Begitu juga dengan kedudukan Yang Berhormat ADN Mentakab dan ADN Ketari yang jauh ke belakang sana. Kedudukan Ahli-ahli Yang Berhormat Ex-Officio juga terpaksa berada di sebelah kanan saya. Saya telah cuba membuat yang terbaik, harap Ahli-ahli Yang Berhormat dapat memahami dan memberi kerjasama.
Bagi melunaskan kehendak Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, kita terpaksa menjalankan Persidangan ini walaupun agak bertentangan dengan arahan-arahan PKP. Sebab itu, kita akan memendekkan atau meringkaskan masa Persidangan ini selama lebih kurang satu jam atau lebih. Justeru itu, agenda soalan dan jawapan secara lisan tidak diadakan, Istiadat Perasmian, majlis jamuan juga terpaksa ditiadakan. Kita akan berdepan dengan the new normal buat sementara waktu. Apa yang penting dan mustahak, saya mengambil keutamaan keselamatan Ahli-ahli Yang Berhormat yang berkumpul di dalam dewan ini. Saya juga tidak menjemput semua Ketua-ketua Jabatan seperti biasa. Ini bagi mengurangkan bilangan yang ramai dalam dewan yang terhad ini. Kedudukan ini hanyalah untuk persidangan kita pada kali ini. Kita berdoa agar keadaan akan kembali pulih. Insya-Allah sidang akan datang kembali sepertimana biasa.
Kita juga telah membuat nyah kuman dalam dewan ini pada petang semalam. Saya percaya Yang Berhormat juga telah diambil suhu badan dan menggunakan face mask, penutup muka sekiranya perlu seperti mana yang kita pakai sekarang ini. Ini semua untuk mengelak daripada jangkitan atau memutuskan penularan COVID-19. Seperti juga Sidang Dewan di negeri-negeri lain, yang mengadakan sidang dalam masa yang cukup ringkas, hanya membuat aturan yang penting sahaja kerana kita dinasihatkan tidak berada lama dalam bilik yang tertutup dan bilangan yang agak ramai ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Saya juga tidak bercadang nanti untuk membuka perbahasan Titah Ucapan Kebawah Duli Pemangku Raja kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Kita akan cuba selesaikan persidangan seberapa ringkas yang boleh. Faktor kesihatan adalah mengatasi segala-galanya. Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat dapat bersama-sama saya bagi meletakkan faktor kesihatan dan arahan PKP daripada Jabatan Kesihatan Negeri lebih penting dan mengatasi segala-galanya. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 18, 19, 20, 21 dan 22 November 2019 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon izin membawa cadangan bahawa peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 pada 18, 19, 20, 21 dan 22 November 2019 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon izin menyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, soalannya ialah suatu cadangan bagi mengesahkan peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 pada 18, 19, 20, 21 dan 22 November 2019 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada pindaan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju, sila nyatakan ya.
Ya.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju, sila nyatakan “tidak”. Tiada. Peringatan mesyuarat tersebut disahkan tanpa pindaan.
Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja PahangAddress / budget
Perkara Ketiga: Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, menurut Perkara 29 Bab 4, Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan untuk menyempurnakan Titah Diraja. Saya telah mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang dan atas pandangan serta nasihat Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Baginda telah bersetuju untuk menyampaikan Titah Ucapan Perasmian melalui rakaman audio visual yang akan dipaparkan sebentar lagi. Ucapan perasmian melalui rakaman ini adalah julung-julung kali diadakan di dalam sejarah. Baiklah, sekarang marilah kita bersama-sama mendengar Titah Perasmian yang akan disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah [bacaan ayat al-Quran] saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia, rahmat dan inayahnya, dapat saya melafazkan Titah Diraja bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Kali ke-14 pada pagi yang berbahagia ini.
Saya berasa berbesar hati dengan komitmen dan rasa tanggungjawab semua yang berhormat ahli dewan yang hadir pada persidangan ringkas ini bagi menepati kehendak undang-undang, dan ketika masih berada dalam tempoh penularan wabak pandemik COVID-19. Saya menyeru agar semua Yang Berhormat Ahli Dewan dapat menggunakan kesempatan persidangan ini sebaik-baiknya.
Sekalung tahniah saya rakamkan dengan pembentukan Kerajaan Baharu Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia Ke-8, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin. Saya juga amat berbesar hati
dengan pelantikan enam (6) Ahli Parlimen dari Negeri Pahang untuk menganggotai barisan kabinet sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, iaitu :
Yang Berhormat Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Menteri Kanan Pertahanan;
Yang Berhormat Dato' Saifuddin Abdullah sebagai Menteri Komunikasi Dan Multimedia;
Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd Muttalib sebagai Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan;
Yang Berhormat Dato' Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Satu (I);
Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said Sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri Dua (II); dan
Yang Berhormat Tuan Mohd Shahar bin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Kewangan Dua (II).
Dengan pelantikan di bawah Kerajaan Baharu ini, saya berharap kerjasama semakin erat dapat dijalin antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang ke arah pengukuhan pembangunan ekonomi negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat saya terpelihara.
Kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, saya mengucapkan tahniah dan syabas atas penerajuan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang secara telus, dan adil bertunjangkan prinsip perlembagaan.
Teruslah menerajui pentadbiran negeri dengan sifat amanah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam Surah al-Anfal ayat ke-27 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasulnya; dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui.”
Demikianlah tingginya kedudukan amanah yang mesti dijunjung oleh seorang pemimpin. Hakikatnya, pemimpin yang beramanah akan membawa kesejahteraan dan pemimpin yang tidak amanah serta mementingkan kedudukan dunia akan hanya membawa bencana dan musibah kepada negeri.
1. Pematuhan Kepada Perintah Kawalan Pergerakan (P.K.P) dan Strategi Pemulihan Ekonomi Negeri
Ketika seluruh dunia sedang berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19 dan bilangan pesakit yang positif di Pahang telah mencecah 264 kes sehingga 18 April 2020, saya menyeru kepada seluruh rakyat saya supaya kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ke-3 serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan diri seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Setiap rakyat perlu bekerjasama dan berdisiplin agar rantaian penularan COVID-19 ini dapat diputuskan. Duduklah di rumah masing-masing, amalkan etika kebersihan diri
seperti sentiasa membasuh tangan, memakai topeng muka sekiranya berasa tidak sihat serta mengamalkan penjarakan sosial.
Saya amat bersyukur dengan izin Allah Subhanahu Wa Taala dengan kecekapan petugas kesihatan Negeri Pahang, sehingga 18 April 2020, seramai 159 pesakit COVID-19 di negeri Pahang telah sembuh, alhamdulillah.
Saya memuji segala usaha Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, atas inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan demi memastikan rakyat saya tidak gusar sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Ini termasuklah pemberian bantuan kewangan dan keperluan harian kepada rakyat saya yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Saya juga maklum sebanyak RM10 juta telah disalurkan ke Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri melalui Pakej Ransangan Ekonomi oleh Kerajaan Persekutuan.
Justeru, saya merakamkan ucapan terima kasih atas penyaluran bantuan termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diperkenalkan di peringkat nasional dan pengenalan serta pelaksanaan dua puluh dua (22) inisiatif oleh Kerajaan Negeri, yang disalurkan dalam bentuk bantuan kewangan dan barangan keperluan serta implikasi kewangan yang ditanggung akibat penangguhan bayaran-bayaran tertentu dalam tempoh ditetapkan, keseluruhannya berjumlah RM24.347 juta.
Kerajaan Negeri turut menerima pelbagai bantuan oleh Badan-Badan Bukan Kerajaan (N.G.O), syarikat-syarikat korporat dan individu-individu yang keseluruhannya berjumlah RM4.83 juta yang saya yakin dapat melegakan rakyat dalam menghadapi tempoh yang genting ini.
Saya juga berterima kasih atas keprihatinan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri serta para penjawat awam Negeri Pahang yang diketuai oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang turut memberi sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang yang telah terkumpul sebanyak RM145,000.00.
Selain itu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan 10 lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, telah pun menzahirkan pemotongan gaji sepuluh (10) peratus mereka selama tiga (3) bulan bermula April untuk disumbangkan ke tabung ini. Ia juga menjadi ikutan dua puluh sembilan (29) Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian daripada parti-parti U.M.N.O, M.C.A, P.A.S, dan D.A.P.
Saya berharap Kerajaan Negeri dapat menggunakan kesemua kutipan tersebut dengan sebaik mungkin demi manfaat rakyat jelata jua.
Sekalung penghargaan dan terima kasih juga saya rakamkan buat para petugas barisan hadapan atas khidmat bakti mereka serta semua petugas yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ini. Hanya Allah Subhanahu Wa Taala yang mampu membalas jasa saudara dan saudari sekalian.
Adalah menjadi harapan saya kepada seluruh jentera Kerajaan Negeri agar usaha dan inisiatif-inisiatif yang telah dianjurkan dapat dinilai keberkesanannya terutamanya dalam memastikan bantuan yang diberikan dapat dinikmati oleh rakyat.
Justeru, saya menyeru kepada orang tua saya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang agar mengambil langkah segera pasca COVID-19 antaranya dengan
mengumpulkan semua kepakaran yang boleh diperolehi untuk memberi nasihat kepada kerajaan saya, contohnya dengan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang dan mengadakan perbincangan bersama pihak pemain industri termasuk pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (S.M.E).
Saya juga menyeru kepada Pentadbiran Kerajaan Negeri supaya bersedia dengan persekitaran sosio-ekonomi yang dijangkakan akan berlaku “a new-normal” ditambah pula dengan ramalan kelembapan ekonomi global yang akan menjejaskan negara.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri perlu merancang inisiatif yang lebih menyeluruh supaya semua pihak dapat bersedia dan berikhtiar bagi merancakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan serta memastikan jentera kerajaan negeri berfungsi lebih cekap dan berkesan melalui perkhidmatan yang disediakan. Semoga dengan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang akan dapat memulihkan semula ekonomi negeri dan sumber kewangan rakyat saya yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ini. Saya mendoakan agar usaha ini diberkati dan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
Sekali lagi saya menyeru kepada seluruh rakyat agar bersatu-padu menyokong usaha kerajaan dalam memerangi COVID-19 tanpa mengira kaum, politik, agama dan sebagainya. Saya yakin sekiranya seluruh rakyat mengamalkan prinsip bersatu-padu dan saling bekerjasama dengan kekal patuh kepada arahan PKP, kita akan berjaya memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini, insya-Allah.
2. Kerjasama Erat Kerajaan Persekutuan dan Negeri Bagi Pembangunan Sosio-Ekonomi Negeri.
Alhamdulillah saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan berjumlah RM10.65 bilion bagi membiayai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 sejak dari tahun 2016 sehingga 2020.
Dengan adanya kelulusan tersebut, rakyat dapat menikmati pelbagai kemudahan antaranya seperti jajaran jalan raya yang sistematik melalui projek Central Spine Road (C.S.R) dan projek-projek bekalan air terawat bagi memastikan peratus capaian air terawat dapat disalurkan 100 peratus ke segenap penduduk negeri ini.
Saya berharap pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 yang sedang berjalan ini dapat diteruskan dengan jayanya dalam usaha untuk memacu ekonomi negeri dan yang paling penting ia memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat saya.
Bagi perancangan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) nanti, saya berharap semua pihak dapat menggembleng usaha dengan sebaik mungkin untuk menarik lebih banyak projek pembangunan ke negeri Pahang. Berikan kerjasama yang baik dengan kerajaan persekutuan seperti penyediaan lokasi tanah yang strategik dan pengurusan projek yang cekap.
Tadbir urus yang baik dan efisyen akan dapat memastikan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat jelata jua.
Kerajaan saya tidak terkecuali untuk turut menyediakan RM120.75 juta yang meningkat sebanyak 23 peratus daripada tahun lepas untuk tujuan pembangunan yang saya yakin dapat merancakkan semula perkembangan ekonomi negeri dan aliran tunai dalam pasaran setelah negara terkesan dengan wabak COVID-19.
Pada pagi yang berbahagia ini, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Yang Berhormat Ahli Dewan atas usaha gigih dalam memakmurkan negeri dan membantu rakyat saya walaupun menghadapi situasi yang mencabar. Suka saya berpesan, dalam keadaan kerap turun padang, sentiasalah menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Orang Tua Saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ketua-ketua Jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur untuk faedah rakyat sekalian. Semoga Allah subhanahu wa taala jua membalas jasa dan budi yang ditaburkan dengan ganjaran pahala dan kebaikan.
Di kesempatan ini juga, tidak terlalu awal untuk saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan 1441 hijrah dan walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, saya berharap ianya tidak akan mengurangkan semangat kita untuk terus beribadah malah akan membuatkan kita lebih menginsafi diri dan mendekatkan diri dengan Allah subhanahu Wa Ta’ala, insya-Allah.
Mengakhiri Titah, saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala sentiasa melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada rakyat saya serta melindungi negeri Pahang Darul Makmur yang kita cintai ini. Dengan lafaz suci Bismillahirrahmanir rahim, saya merasmikan pembukaan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-14 pada pagi ini.
Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Baiklah Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya bagi pihak Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan Yang Mulia ini merafak sembah menjunjung kasih di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melalui rakaman yang dimainkan sebentar tadi. Baiklah untuk itu, marilah kita bersama-sama kita meneruskan aturan urusan mesyuarat selanjutnya.
Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja PahangMotion
Perkara keempat: Usul menjunjung kasih atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
saya mohon izin untuk membawa satu usul di Dewan Yang Mulia ini yang berbunyi
“Bahawa Dewan Negeri Pahang yang bersidang pada hari ini bersetuju menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang menyempurnakan Titah Diraja pada Dewan Negeri.
Saya berharap usul ini akan mendapat sokongan dan kelulusan Dewan Yang Mulia ini.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
saya mohon menyokong usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar sebentar tadi. Terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, di hadapan majlis ialah suatu usul yang berbunyi:
“Bahawa Dewan Negeri Pahang yang bersidang pada hari ini bersetuju menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang menyempurnakan Titah Diraja pada Dewan Negeri.”
Usul tersebut telah pun dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan telah pun mendapat sokongan bagi Yang Berhormat Dato’ Sri daripada pihak kerajaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa persidangan kita pada kali ini dalam suasana PKP maka saya tidak bercadang untuk membuka perbahasan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat seperti mana biasa. Saya akan memberi ruang kepada tiga empat ahli sahaja untuk mengambil bahagian dalam tempoh masa 4 atau 5 minit.
Jadi saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat dapat memahami dan memberi kerjasama yang sebaik-baiknya pada persidangan kita kali ini. Baiklah saya jemput ya Ahli Yang Berhormat daripada Sungai Lembing. Sila.
Terima kasih Tuan di-Pertua. Bismilahirahmanirahim, Assalamualaikum w.b.t, Alhamdulillah hirabil alamin (Bacaan ayat Al-Quran). Tuan Yang di-Pertua, terima kasih er… kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk turut membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
Tuan Yang di-Pertua,
Pertamanya saya menyembahkan ucapan tahniah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja di atas perkenan bagi perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 walaupun melalui video conference, nak buat macam mana, kita sekarang ini dalam keadaan wabak pandemik COVID-19. Bagi menyusuri Titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku jelas kepada kita bahawa Raja kita sangat mengambil berat tentang perkembangan terutama sekali nasib rakyat negeri Pahang dalam menghadapi bencana COVID-19 ini.
Harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya perhubungan erat antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri supaya agenda pembangunan negeri dan rakyat terus berjalan dengan lancar apatah lagi er… dengan Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-8 pada… telah mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri er… pada 1 Mac Tahun 2020.
Tuan Yang di-Pertua,
Disamping itu juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berhubung dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar Pahang untuk memastikan masalah-masalah dan juga kesusahan-kesusahan yang dihadapi oleh rakyat terutama sekali rakyat yang putus pendapatan sepanjang menghadapi COVID… bencana COVID-19 ini.
Tuan Yang di-Pertua,
Pengumuman demi pengumuman berkaitan dengan PKP akibat daripada bencana COVID-19 ini kita tahu bahawa rakyat menjadi resah dan gelisah. Menyedari keluh kesah rakyat kita menyanjung tinggi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat PRIHATIN yang merangkumi tiga matlamat utama iaitu melindungi rakyat, matlamat yang kedua sokongan perniagaan, matlamat yang ketiga perkukuh ekonomi.
Kerajaan Pusat, Kerajaan PN (Perikatan Nasional) telah memperuntukkan RM250 bilion di bawah pakej ini. Dengan jumlah tersebut Tuan Yang di-Pertua, hampir RM128 bilion akan disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga dua bi… dan juga untuk memperkukuhkan ekonomi negara. Sementara sebelum itu kita tahu er… sebanyak RM20 bilion telah diumumkan oleh Perdana Menteri Interim.
Tuan Yang di-Pertua,
Selaras dengan keprihatinan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri juga di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar Pahang tidak terkecuali mengumumkan inisiatif kerajaan Negeri bagi menangani bencana COVID-19 ini.
Tuan Yang di-Pertua,
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri telah membuatkan 3 kali pengumuman dan juga satu wawancara untuk er… meredakan keresahan dan juga bebanan yang dihadapi oleh rakyat dan juga termasuklah juga kakitangan-kakitangan awam. Sementaranya Tuan di-Pertua, bantuan tunai sebanyak RM150.00 dan barangan makanan bernilai RM50.00 kepada 17,935 orang penerima yang terjejas sumber pendapatan. Yang Amat Berhormat memberikan juga peruntukan khas kepada 42 Ahli Dewan Undangan Negeri bagi membantu secara terus rakyat yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19 dengan peruntukan keseluruhan RM252,000.00.
Kerajaan Negeri juga memberi potongan sebanyak 50% daripada kadar sewa bulanan kepada 2,453 orang penyewa. Penyewa Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan juga Rancangan Rumah Murah bagi bulan April 2020. Potongan 50% kepada 6,238 peniaga kecil dan penjaja untuk bayaran-bayaran sewaan gerai dan lain-lain kemudahan PBT. Bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan juga car boot sale bagi bayaran mulai bulan April 2020. Di samping itu juga Tuan Yang di-Pertua, seramai 26,806 orang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang akan dipercepatkan pembayaran mereka pada 20 Mac 2020.
Peruntukan sebanyak RM765,800.00 bagi menampung kos penyediaan makanan kepada petugas-petugas di Bilik Gerakan Operasi dalam menangani penularan wabak COVID-19. Penangguhan pembayaran sewa premis perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang bagi bulan April hingga Jun tahun 2020. Pekerja Sambilan
Harian (PSH) di bawah Pentadbiran SUK Pahang juga akan menerima bayaran elaun penuh sepanjang tempoh kawalan pergerakan yang melibatkan 128 orang dengan kos sebanyak RM98,960.00
Masa… masa Yang Berhormat. Nampak dah…
Ya. Tuan Yang di-Pertua…
Ya.
Er… izinkan saya sebentar lagi ya. Kemudian kita tidak lupa juga bantuan-bantuan kepada rakyat. Sumbangan beras daripada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar, sumbangan wang tunai RM100.00 dan juga barangan RM50.00 kepada rakyat, sumbangan RM150.00 kepada 600 orang mahasiswa, sumbangan RM5,000.00 kepada 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana, sumbangan RM30,000.00 sebagai membantu usahawan micro e-hailing dan juga RM200.00 kepada setiap KIR dalam kawasan er… kawalan pergerakan dipercepat dan banyak lagi er… bantuan-bantuan yang diumumkan yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar Pahang.
Jadi dalam hal ini Tuan di-Pertua, bagi saya secara umumnya rakyat yang er… mendapat bencana, yang mendapat kesusahan saya rasa boleh katakan terbela. Apa saya… kepada mana-mana rakyat atau pihak yang tidak dapat belum menerima misalannya apa-apa bantuan sumbangan kalau dekat kampung hubungi er… Ketua-ketua Kampung yang dilantik oleh pihak kerajaan.
Di samping itu juga kepada rakyat sekalian, saya berharap sempena PKP ini, sempena lockdown, yang diumumkan oleh kerajaan kita bersabar bagi kerjasama kepada pihak kerajaan dan kita jaga kebersihan diri, jaga kesihatan er…dan juga pastikan dan juga membantu pihak kerajaan kita memutuskan rangkaian COVID-19 ini. Kalau rangkaian COVID-19 ini dapat diputuskan segera, kita berharap mudah-mudahan dalam bulan puasa Ramadan Al-Mubarak ini diberikan pertolongan daripada Allah SWT er… bencana ini mudah-mudahan dapat er… kita tangani dengan baik walaupun kita tahu sakit datang cepat.
Yang Berhormat Dato’ Sri…
…tapi nak baik itu, dia berperingkat-peringkat.
Dato’ Sri Yang di-Pertua, hanya nak betulkan ya… Yang Berhormat Dato’ Sri, kita sebenarnya tidak ada lockdown, kita hanya ada PKP iaitu MCO (Movement Control Order) ataupun er… Perintah Kawalan Pergerakan bukannya lockdown. Terima kasih.
Ya. Tidak ada lockdown ya, wakil sebelum ini.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, PKP…
Terima kasih banyak-banyak.
Tidak ada lockdown jadi er… sekali lagilah saya berharap kepada semua sekali er… pemimpin, er… rakyat negeri Pahang ini er… kita jangan langgar kawalan pergerakan er… jangan marah pada polis bila di Pahang ini dah 500 orang kena tangkap sebab er… melanggar arahan. Jadi er… di samping itu juga er… kita juga berharap.
Yang Berhormat, masa dah cukup. Yang Berhormat, saya ingat elok…
Ya. Tuan di-Pertua,
Ya… buat penggulunganlah.
Ya. Satu lagi saya terlupa tadi, saya juga mengucapkan selamat hari jadi kepada yang Berhormat Dato’ Sri Diraja er… ADN daripada Pelangai Menteri Besar Pahang Yang Ke-13. Mudah-mudahan sela…panjang umur murah rezeki. Itulah er… Tuan di-Pertua, saya dengan ini mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih wakil daripada Sungai Lembing. Ya… sila wakil daripada Bilut. Ya Bilut, sila. Tak apa Yang Berhormat, saya jemput Bilut tadi ya. Dia ada maklumkan pada saya nak tadi. Minta maaf Tengku. Sila Bilut.
Yang Behormat Tuan di-Pertua,
Terima kasih Yang Berhormat Tuan di-Petua, Yang Berhormat-Yang Berhormat salam sejahtera. Saya merakamkan ucapan menjujung kasih ke atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua,
Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua kakitangan perkhidmatan kesihatan awam yang sedang mengambil risiko dalam memerangi wabak COVID-19 ini. Dengan usaha dan pengorbanan mereka, situasi sekarang beransur baik. Saya percaya bahawa kami akan berjaya mengatasi wabak ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak polis, ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan kakitangan kerajaan yang berkenaan yang telah bertungkus lumus dalam menjaga keselamatan dan keamanan awam agar situasi terkawal.
Yang Berhormat Tuan di-Pertua,
Wabak COVID-19 ini merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada negara tidak kira dalam ekonomi, kesihatan awam atau ketenteraman masyarakat. Cabaran ini perlu diharungi bersama dan kesemua rakyat Malaysia perlulah bertanggungjawab bagi mencegah Wabak COVID-19 ini. Kita akan berjaya sekiranya kita semua memainkan peranan masing-masing. Dalam tempoh yang kritikal ini, kita perlu mengetepikan perbezaan politik demi kesejahteraan dan kesihatan awam. kita perlulah berganding bahu dalam memerangi wabak COVID-19 ini.
Tujuh orang Ahli Dewan Undangan Negeri DAP telah memegang prinsip ini dan bersetuju untuk derma 10% gaji selama 3 bulan kepada Tabung COVID-19 Kerajaan Negeri Pahang. Saya turut ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada kakitangan awam negeri yang telah memberi derma kepada tabung ini. Inilah masa kita mengharungi bersama-sama. Kita Jaga Kita. Saya ingin mengingatkan kepada semua rakyat Pahang agar tidak menyebarkan berita atau info palsu kerana hal ini akan menjejaskan usaha pencegahan wabak COVID-19 dan seterusnya menjejaskan ketenteraman masyarakat dan kestabilan masyarakat.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Selain daripada itu saya ingin mengingatkan, mengingati semua bahawa matlamat PKP adalah… adakah… adalah untuk mengurangkan jangkitan wabak COVID-19. Oleh itu bagi menjaga kesihatan anda dan ahli keluarga anda, saya harap kesemua Rakyat Malaysia mematuhi PKP, duduk dalam rumah dan membuat langkah keselamatan untuk menjamin keselamatan, kesihatan terjaga.
Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucap terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan di-Pertua yang berjaya mengaturkan mesyuarat dengan penyesuaian ini dari segi keselamatan untuk memerangi wabak COVID-19. Itu sahaja daripada saya. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Baiklah saya nampak tadi YB, terima kasih Bilut ya, daripada Tanjung Lumpur dan YB daripada Pelangai. Saya ingat cukup untuk dua selepas ini lepas itu kita akan teruskan kepada urusan mesyuarat selanjutnya. Selepas Tanjung Lumpur saya jemput Pelangai. Sila YB.
Asalamualaikum WBT. Bismilahiramanirahim (Bacaan Bahasa Arab)
Yang Berhormat Yang di-Pertua,
Pertama-tama saya mengucapkan terima kasih diatas kesempatan yang diberikan untuk saya bersama-sama dalam Usul Ucapan Titah Pemangku Diraja.
Bagi meringkaskan ucapan, pertama-tamanya saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri dan juga kepada pihak Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah menyampaikan sumbangan-sumbangan yang mana mudah-mudahan sumbangan tersebut ia dapat memberikan keringanan bagi kita membantu masyarakat kita dalam situasi PKP ini terutama kepada mereka yang bekerja sendiri ataupun dalam erti kata lain yang terputus mata pencarian dalam tempoh ini.
Sebagaimana rakyat er… keseluruhan mengalami kegawatan, sedikit kegawatan kerana PKP, jadi kami Yang Berhormat dan juga Tok Empat-Tok Empat ataupun Ketua Kampung juga mengalami kegawatan, kegawatan berhadapan dengan masyarakat, berhadapan dengan rakyat yang setiap hari complain tak dapat, tak mencukupi dan sebagainya sehingga timbulah isu Ketua-ketua kampung dituduh tidak adil, dituduh apa tidak berikan duit yang telah kerajaan berikan sedangkan peruntukan itu terlalu terhad.
Jadi suka saya mencadangkan untuk pada masa yang akan datang, biarlah Ahli-ahli Yang Berhormat dan Ketua Kampung ini hanya menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan sahaja. Manakala duit biar kerajaanlah urus dengan rakyat sama ada melalui akaun dan sebagainya supaya tidak timbul lagi isu-isu yang sebegini.
Dan yang terkahir sekali, saya juga sebagai mana Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain sama-sama memberikan peringatan untuk kita mematuhi arahan PKP ini dan juga memenuhi SOP dalam tempoh kita bekerja untuk membantu rakyat dan seterusnya saya juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Mudah-mudahan puasa pada kali ini melahirkan, menjadikan diri kita sebagai orang yang bertaqwa kepada Allah SWT dan saya mohon menyokong. Asalamualaikum WBT. (Ahli Dewan menepuk meja).
Ya. Sila Yang Berhormat daripada Pelangai.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kerana memberi saya peluang untuk bercakap. Saya memaksa diri saya untuk bercakap sebab semua orang berusia saya 70 tahun, saya menganggap saya yang paling tua dalam Dewan ini dan saya perhatikan ada satu, dua perkara yang saya perlu beri pandangan nasihat kepada kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Speaker kerana dapat saya bercakap dalam Dewan. Kalau tidak bercakap pada hari ini kena tunggu tiga, empat bulan lagi dan yang paling utamanya saya ingin menyembahkan ucapan junjung kasih
setinggi-tingginya ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang yang telah melafazkan Titah Diraja sebentar tadi. Walaupun Titah Diraja ringkas, tetapi banyak nasihat dan ingatan yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja tadi khususnya mengucap tahniah dan nasihat kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan juga jentera pentadbiran kerajaan.
Pahang bertuah kerana selama ini dipayungi oleh Raja Pemerintah, Sultan yang prihatin, mengambil tahu hal ehwal rakyat. Sepanjang ingatan saya dari saya kecil sampai sekarang, saya teringat Almarhum Tuanku Sultan Abu Bakar, sering mencemar duli membuat lawatan ke daerah-daerah mengambil tahu hal ehwal rakyat. Kemudian itu Almarhum Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah pun sama sehingga terbit kata-kata hikmat “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”. Sekarang ini Pahang dipayungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah. Baginda juga telah menunjukkan keprihatinan sebagaimana Almarhum Paduka Ayahanda Baginda dan juga Almarhum Paduka Nenda Baginda.
Dan baru-baru ini kita dapat lihat bagaimana kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku selaku Tuanku Yang di-Pertuan Agong dengan melantik, memilih calon yang sesuai untuk menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-8. Baginda telah menunjukkan sikap yang teliti, telus, adil dan saksama, mengambil masa, tidak tergopoh dan akhirnya telah melantik Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8 setelah mendapat pandangan dan juga setelah Baginda Tuanku mengambil maklum, mengambil kira sokongan Ahli-ahli Dewan. Kita berdoa, saya sendiri secara peribadi berdoa, mudah-mudahan Negeri Pahang akan sentiasa mendapat rahmat, makmur di bawah payung Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan saya merasa sangat bangga dan bahagia kerana Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah dapat menguruskan pentadbiran negeri dengan baik. Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menunjukkan sikap yang prihatin, mesra rakyat, kemudian sangat rajin turun ke bawah dan selain daripada itu mempunyai idea-idea yang baik untuk dijadikan panduan kepada pentadbiran kerajaan.
Kita dapat lihat sebagai contoh semasa PKP ini, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyalurkan berbagai-bagai bantuan dan semua pihak telah mendapat bantuan ini. Ini satu perkara yang sangat bukan sahaja kita berasa bangga, bahkan kita bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan kepada kita seorang manusia yang bernama Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar Pahang; Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang. [Ahli Dewan menepuk meja]. Adalah menjadi kewajipan kita semua, bukan sahaja Ahli-ahli dari Barisan Nasional, Pakatan Nasional, Perikatan Nasional tetapi juga ahli-ahli dari sebelah sana juga, untuk kita terus memberikan sokongan yang padu kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri selaku Menteri Besar Negeri Pahang, insya-Allah.
Salah satu insiatif yang Yang Amat Berhormat telah buat ialah untuk menarik pelabur-pelabur ke negeri Pahang. Kita berharap perkara ini akan dapat berjalan dengan baik. Selain dari itu, kita Kerajaan Negeri Pahang sejak dahulu lagi sampai sekarang adalah dianggotai oleh pegawai-pegawai kerajaan yang jujur, amanah dan cekap.
Hanya saya ingin mengingatkan supaya pentadbiran yang telus, adil, saksama ini mesti disertai dengan Ihsan atau pun Compassion. Ihsan ni, kasihan pada orang. Mana boleh kita bantu, kita bantu. Tak boleh bantu, beritahu terang-terang kita tak
boleh bantu. Saya juga ingin nasihatkan jangan sekali-kali kita semua sama ada ahli politik atau ahli-ahli jabatan-jabatan kerajaan takbur, dan yang penting jangan ambil alih urusan Allah.
Janganlah ada mengatakan “siapa YB? Awak YB ke saya YB? Siapa ketua jabatan? Awak ketua jabatan ke saya? Jangan sesekali. Siapa MB? Awak MB ke saya MB?. Siapa SS? awak SS ke saya SS? Siapa DO? Awak DO ke saya DO?” Jangan sekali-kali kita mengeluarkan perkataan sedemikian. Boleh bantu, kita bantu. Tak boleh bantu, cakap terus terang kita tak boleh bantu.
Baru-baru ini saya diberitahu salah seorang itu, Dato’, pergi ke Pejabat Pos. Kerani perempuan tu tak kenal dia. “Awak tak kenal ke saya siapa ke? Saya Dato’ lah, Raja bagi saya Dato’. Awak tak panggil saya Dato’.” Gambar dia dalam CCTV, ada CCTV. Benda ni sampai kepada saya dan saya berasa sedihlah kalau ada ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan bersikap sedemikian. Harap dapat kita jangan cemarkan kerja baik kita, urusan yang jujur, tulus ikhlas untuk rakyat ni, dengan sedikit sebanyak perbuatan yang boleh merosakkan perkara yang telah kita buat baik selama ini.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Dalam kesempatan ini, saya ingin sebelum saya duduk, saya ingin merayu supaya kenaikan cukai tanah ni kita kaji semula. Saya berpendapat, dalam apa jua perancangan kita tak perlu structured sangat. Structured tetapi menyedihkan. For me, the planning should be very simple; it should be a very simple plan, but workable.
Minta maaf banyak-banyak Tuan Yang di-Pertua dengan izin, kalau Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dia bila marah dia cakap Jerman. Saya ni, bila naik sikit darah tu, cakap Bahasa Inggeris. Ini kita jangan terlampau sophisticated.
Saya mengambil contoh sebagai contoh, tanah yang kategori Nil. Apa yang susah sangat. Kategori-kategori tertentu: ada pertanian, ada rumah kediaman, ada perniagaan, ada industri, tak payahlah kita buat [tak jelas] susah-susah. Senang sahaja.
Hawa dingin ni sejuk sikit, breakfast belum lagi. Dia terasa sejuk sangat. Minta maaf Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat, Yang Berhormat, apa, belum breakfast lagi?
Ha… belum.
Saya rasa kalau gitu, elok Yang Berhormat tamatkan boleh breakfast.
Bukanlah nak terus kebulur, nak tumbang, ya.
Ha, Bimbang juga, panjang-panjang kang rasa tu, saya lebih sayang Yang Berhormat tu.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua.
Sila, sila Yang Berhormat.
Sebagai contoh, kawan saya rumah kediaman dia kategori Nil. Dia bayar cukai setahun RM1,087.00. Berapa dapat bil? RM1.8 juta. Baik, kerajaan bagi dia potong 80%, bagi 90% pun tak apa dah. Dia kena bayar lagi RM400,000.00 setahun. Maknanya RM30,000.00 sebulan nak bayar cukai tanah dia daripada RM1,000.00.
Satu lagi saya dapat aduan, tanah dia kena bayar di Gebeng RM25,000.00 setahun jadi RM3 juta. Kalau kita potong pun 80%, 90%, beratus ribu lagi dia kena bayar.
Saya ambil contoh, sebuah syarikat besar. Ada tanah 17,000 hektar di negeri Pahang. Untung dia RM23 juta. Cukai dia bayar RM1.2 juta. Baru-baru ni dia dapat bil RM259 juta. Naik 20,000%. 20,000%. Does this make sense or not? Sorry, no. It’s not sensible. When it’s not sensible, we call nonsense.
Katalah misalnya dia dibagi potong 80%; dia kena bayar lagi RM200 juta; dari RM1.2 juta jadi RM200 juta. Padahal kalau RM1.2 juta dia bayar sekarang kalau kita naikkan 100% pun baru RM 2 juta. Untung dia RM5 juta. Jadi saya harap perkara ni kita kena ambil kiralah.
Kemudian itu di kampung saya. Dia buat apa ni er… resort. Kategori pertanian, dia sekarang bayar RM500.00. Dia kena bayar RM14,000.00.
Kita jangan tengok Nil tak Nil; tengok berapa dia bayar sekarang ni. Berapa cukai dia bayar sekarang ni. Kita naikkan 100%, 200%. Kalau RM1,000.00 dia bayar setahun, naik RM2,000.00 tanah dia sendiri, rumah dia sendiri patutlah. Tapi kalau dia bayar RM1,000.00 dia membayar RM1 juta, potong 80%, dia membayar lagi RM400,000.00 apa maknanya? Nak jual tanah pun orang tak nak.
Saya ingin, minta maaflah naik suara sikit. Segala usaha baik yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ni, menyebabkan nanti kita boleh menang pilihan raya. Yang pembangkang, pembangkanglah. Yang kita ni terus menang. Dengan usaha-usaha baik menolong rakyat. Tapi dengan perkara-perkara yang ini dengan sedikit sebanyak ia akan menjejaskan. Oh…kita kata tanah orang kampung tak kena apa-apa. Betul tak kena apa-apa, tetapi… untuk yang orang beli tanah kediaman macam er… RM1,087.00 jadi RM1.8 juta mereka akan gaduh. Jadi industri, kawasan industri dia orang mungkin lain.
Saya difahamkan salah satu syarikat yang telah komited untuk datang melabur selepas Menteri Besar membuat misi pelaburan di Singapura telah membatalkan, tak jadi sebab tanah naik, cukai tanah naik. Jadi saya berharap, kita kena priority kena
betul. It’s not the business of the government to do business. That is not the duty of the government to do business. It is wrong.
Saya mengajar soal Kerajaan dan Politik ni dah lama dah. Macam-macam penulis: Hood Phillips, Ivor Jennings tak ada mengatakan the function of the government is to do business. That’s not correct. The function of the government is to restore peace and then to maintain peace, stability and then to facilitate business. When the business is booming and all the firms are doing good business, good profits, we tax them. That is the income of the government. Saya harap ini tak betul ya, kerja kerajaan bukan buat… buat… buat berniaga, bukan. Kerja berniaga ni, berniaga orang berniaga. Kerajaan memudahkan, menentukan keamanan, kemudian kita kutip cukai.
Hanya dalam lebih kurang tahun…tahun…tahun 50an didapati ada keperluan kerajaan campur sikit. Hah, itu timbul apa namakan sebagai Public Corporation. Maka timbullah sebagai contoh zaman dahulu CEB atau pun TNB, daripada ditubuhkan TNB the semi government, berniaga sikit. Kerajaan: bukan kerajaan. Tujuannya adalah apabila bekalan elektrik orang dipotong, orang tak marah kepada kerajaan. Orang marah kepada TNB. Undi kerajaan tak merosot. Itu dia tujuan dia. Itu sebab kita tubuhkan PKNP.
Jadi kita semua tiru daripada England. Public corporation ni adalah daripada Undang-undang Perlembagaan, Pentadbiran British. Kita buat public corporation, semi government. TNB, Air contohnya untuk mengelakkan supaya orang tidak menyalahkan kerajaan kalau apa-apa hal timbul, orang menyalahkan public corporation: tetapi keuntungan kerajaan dapat juga.
Macam PKNP, kalau PKNP buat business semua, apa benda orang lain nak buat? Jadi kita kena ingat sikit. Be intellectual be structured, but you got to be realistic, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua. Jangan kita ikut teori je. Teori tak jalan, teori. Minta maaflah, dalam Dewan ini kalau misalan kata Ex-Officio nak bercakap dia boleh je minta kebenaran YB. Speaker bercakap untuk bercakap atau nak menjawab. Takda hal. Tapi saya nak katakan ini semua atas, this very nuthead. The good effort already made by our beloved Menteri Besar, hardworking Menteri Besar, prihatin Menteri Besar tapi kalau misalannya perkara-perkara ini semua berlaku kerja baik tak boleh jalan. Kita tak nak hilang panas setahun disebabkan hujan sehari; sebab nila setitik rosak susu sebelanga; sebab kerbau seekor bawa lumpur habis semua kerbau terpalit. Kita tak nak yang macam tu.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Saya hanya ingin berpesan kepada semua, terutama sekali kepada pegawai-pegawai pentadbiran, mereka kena membantu… membantu political masters. Nowadays, the civil servants are the backroom boys; we call them the bedroom boys. They are working for the political masters because the political masters will have to be elected every five years. They got to face the General Elections. This is very basic; very basic Administrative Law. The credit goes to the political masters. If anything good is done by the government, the people will praise the political masters. Oh, very good minister, very good Menteri Besar. And if anything goes wrong, if anything is not lright, the civil servants got to take the blame but then again the political masters will always defend the civil servants; the backroom room boys. That is basic.
Maknanya political masters ini kredit dia akan dapat, puji dia akan dapat, kerja nak mati pegawai. Para pegawai buat silap, tugas political master mempertahankan pegawai-pegawai. Jadi saya berharap Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar yang sangat prihatin, buat banyak benda cukup bagus, cukup popular dah tapi kalau semua industri di Gebeng lari sebab cukai tanah dia naik, kalau semua business tak jalan sebab cukai naik, apa akan jadi?. Tolong-tolong fikirkan. Saya tengok semua Ahli-ahli Dewan boleh mikirkan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Ya, sila. Okey, Benta.
Saya mohon mencelah ni Wakil Pelangai. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, di kesempatan ini saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Wakil Pelangai yang juga merupakan mantan Menteri Besar, yang juga merupakan mantan bos saya dahulu. Saya meneliti hujah yang disampaikan oleh Wakil Pelangai dan saya yakin pihak kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengambil perhatian pada apa ni, hujah-hujah yang… Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja er… Wakil Pelangai.
Jadi saya rasa kita dalam suasana yang kita hadapi sekarang ni mungkin ada beberapa kekangan yang mungkin kita tidak dapat ni laksanakan er… melalui kaedah-kaedah yang biasa kita buat iaitu probably lepas ini Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, kita akan ada the new normal dan saya yakin Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar sebagai seorang tokoh, pemimpin yang sentiasa terbuka dengan pandangan dan juga cadangan serta teguran, daripada pelbagai pihak ya, saya fahamkan semua sekali bukan sahaja Ahli-ahli Dewan Yang Mulia ni daripada semua pihak, baik pemimpin kerajaan pusat mahupun ketua-ketua jabatan. Saya yakin input-input yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja Wakil Pelangai tadi kita akan ambil perhatian….
Terima kasih Yang Berhormat.
Insya-Allah.
Terima kasih.
Jadi terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja Pelangai …
Saya ingat YB….YB. Pelangai masih panjang lagi ke hujah-hujah nak disampai.
Sikit, nak sudah dah.
Dah sudah ya?
…bila YB daripada Benta masuk, saya dah … (tak jelas)
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat… Yang Berhormat Lanchang.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, terima kasih.
Yang Berhormat Lanchang, duduk…duduk sebentar. Saya nak berbicara dengan Pelangai sebentar tadi. Saya tahu Yang Berhormat nak mencelah. Minta maaflah ya. Jadi hujah Yang Berhormat Pelangai tadi memang antara dengar tak dengar kena bercakap macam dalam kapal terbang, whoa…whoa…whoa. Saya pun tak berapa clear sebab pakai lain daripada lain tu. Mask ni jadi dia punya tu sound tu agak tak macam biasa. Itu saya rasa, dengar tapi ada gempa sikit. Jadi oleh kerana Yang Berhormat kata ada sikit lagi nak sambung, saya ingat boleh… boleh diteruskan tu seminit lagi. Tak apa Yang Berhormat, Yang Berhormat elok pakai yang ni, bahaya juga tak pakai. Berpeluh dah tu.
Kalau dah berbunyi kapal terbang, baik tanggal. (Ahli dewan ketawa). Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya nak mengingatkan sebab saya sayang Menteri Besar sebenarnya. Itu aje. Saya tak nak kerja-kerja baik yang beliau lakukan ini dirosakkan oleh sedikit sebanyak… Bayangkan kalau industri tutup, bayangkan orang meniaga tutup, bayangkan Gebeng tu tutup, 12 ribu pekerja hilang pekerjaan. Mereka telah pun bersungut ramai datang jumpa saya mengadu hal. Itu sebab saya sampaikan. Saya berharap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat, Yang Berhormat ADUN Pelangai, saya simpati dengan Yang Berhormat sebenarnya tetapi oleh kerana kita berbahas di dalam suasana apa ni pandemik COVID-19 ni, saya percaya mungkin pandangan-pandangan yang tulus ikhlas daripada Yang Berhormat itu boleh kita berbincang dalam forum yang lain yang lebih sesuai pada saya kerana ini masa yang agak terhad. Yang Berhormat pun belum minum lagi tadi, saya pun nampak sedih juga.
Tak, tak. Saya tadi memang nak sudah dah tadi tapi dipotong oleh Ahli daripada Benta.
Hah, tu lah tadi.
Itu nasib baik Ahli…
Lanchang.
…daripada Lanchang tak masuk.
Tak masuk.
Hah, kalau masuk pulak tadi hah sampai pagi esok pun tak siap. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua…
Ya.
Saya itu sahaja. Saya teguran tadi ikhlas. Teguran saya tadi ikhlas. Tak ada apa-apa; hanya untuk mengingatkan supaya kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar ini akan terus tercermin sebagai kerajaan prihatin kepada rakyat. Jadi kalau ada perkara yang patut boleh dipertimbangkan semula, pertimbangkan semula. Jangan kita buat susah-susah. Nak pegi pikir Nil, tak Nil, tengok je. Cukai tanah orang ini berapa? Seribu? Nak naik berapa? Naik RM500.00, RM1,500.00? naik RM1,000.00, Dua? Naikkan. Tak pergi Nil tu, Nil ni sampai beratus juta. Yang Berhormat Yang di-Pertua sedar tak tadi…sebuah syarikat ni, RM51.2 juta, dia kena bayar RM229 juta, RM1.2 juta jadi RM229 juta tolak 80% dia kena bayar RM200 juta lagi, (mengeluh). Nak jual pun tak laku estet tu.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Sekian itu saja ucapan, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua dan kepada Yang Amat Berhomat Menteri Besar pun saya ucapkan Terima Kasih banyak dan saya minta maaf kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana mula tadi saya nak slow sikit bercakap semua tapi bila dia naik temperature, dia kuat juga sikit jadinya.
Naik seh Yang Berhormat.
Saya minta maaf. Ini tulus ikhlas daripada saya untuk dipertimbangkan oleh kerajaan. Yang Berhomat Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong usul, terima kasih.
Yang Berhormat ADN Pelangai, terima kasih banyak-banyak ya, kita simpati kita rasa terharu kerana apa pandangan, kata-kata dan hujah yang disampaikan itu ikhlas dari sudut hati dan kita juga memahami bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga dah tentu mempunyai cara dan prinsip yang tersendiri. Bagaimanapun kita perlu lihat kembali dan berbincang secara lebih harmonis lagi supaya pembangunan negeri Pahang akan lebih maju lagi gandingan daripada yang baru dan yang lama. Kita berharap Pahang akan terus maju bersama-sama dengan sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Baiklah, saya minta maaf Yang Berhormat Pelangai sekiranya saya tidak dapat memberi masa yang agak panjang. Oleh kerana suasana pandemik ini yang agak bahaya dan saya berasa sedih juga yang bukan disengajakan kerana tidak dapat nak memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain ya, Semambu, Luit dan sebagainya yang tentu mempunyai, mempunyai idea-idea yang bernas untuk mengambil bahagian membahaskan Titah Diraja sebentar tadi.
Tapi apa yang lebih penting, saya lebih sayang kepada nyawa kita bersama kerana ini suasana pandemik yang cukup bahaya dan tidak mengenal pangkat, tidak mengenal status dan sebagainya. Jadi kita perlu er... berhati-hati dan saya er... sebab itulah saya telah nyatakan tadi tidak mahu memanjangkan persidangan ini kerana ianya tidak sesuai sepertimana nasihat para doktor dan juga Jabatan Kesihatan. Jadi kita perlulah apa ni berhati-hati dalam suasana ini.
Baiklah, terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian. Sekarang kita pergi ke aturan urusan mesyuarat selanjutnya. Sila.
Menimbang usul menjunjung kasih atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja PahangMotion
Perkara Keenam : Menimbang usul menjunjung kasih atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Usul ini telah dicadang dan disokong. Soalnya sekarang ialah usul ini hendaklah dikemukakan di Dewan ini untuk mendapat kelulusan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju, sila nyatakan “ya”. [Ahli-ahli Yang Berhormat menyatakan “ya”] Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju, sila nyatakan “tidak”. Tiada. Usul ini diluluskan.
Usul (I)Motion
Perkara Ketujuh: Usul (I). Usul Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pengurusan Sistem Perakaunan Negeri Pahang. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon izin untuk membawa satu usul yang berbunyi:
“Bahawa Dewan yang Mulia ini, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 10 (4) (b) Akta Prosedur Kewangan 1957 (Akta 61) bersetuju menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Pengurusan Sistem Perakaunan Kerajaan Negeri.”
Dato‘ Sri Yang di-Pertua,
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Bilangan 38/2019 pada 9 Disember 2019 telah menimbang kertas cadangan daripada Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri dan bersetuju supaya Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Pengurusan Sistem Perakaunan Kerajaan Negeri bagi menerima peruntukan Kerajaan melalui Jabatan Akauntan Negara Malaysia untuk membiayai pengurusan sistem perakaunan Kerajaan Negeri.
Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah menetapkan bahawa Kumpulan Wang Amanah pengurusan Sistem Perakaunan Kerajaan Negeri ini ditadbir oleh Akauntan Negeri Pahang dan penubuhan Kumpulan Wang ini akan membolehkan Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang:
1. Memperakukan terimaan daripada kerajaan dan lain-lain sumbangan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan pengurusan sistem perakaunan Kerajan Negeri;
2. Mengawal perbelanjaan Kumpulan Wang bagi tujuan berikut:
i. Pembelian perkakasan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pelaksanaan sistem perakaunan Kerajaan Negeri;
ii. Bantuan peningkatan dan tambahan capaian ke rangkaian sistem perakaunan Kerajaan Negeri;
iii. Pembayaran tuntutan perjalanan, hotel, lojing, elaun penceramah dan elaun lebih masa bagi pegawai-pegawai yang ditempatkan untuk membantu pelaksanaan sistem perakaunan Kerajaan Negeri;
iv. Program-program latihan, seminar dan mesyuarat yang berkaitan sistem perakaunan Kerajaan Negeri;
v. Pelbagai program berkaitan aktiviti-aktiviti pelaksanaan sistem perakaunan Kerajaan Negeri; dan yang terakhir
vi. Lain-lain perbelanjaan berkaitan pelaksanaan sistem perakaunan Kerajaan Negeri yang akan ditentukan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Penubuhan Kumpulan Wang ini akan memberikan perincian berkaitan terimaan dan perbelanjaan melibatkan pengurusan sistem perakaunan Kerajaan Negeri berdasarkan peruntukan dan sumbangan yang diterima untuk tujuan tersebut.
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Dewan Yang Mulia ini, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 10(4)(b) Akta Prosedur Kewangan 1957 (Akta 61), menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Pengurusan Sistem Perakaunan Kerajaan Negeri.
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadang.
Ya, sila.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya mohon menyokong usul itu.
Bantahan, tiada. Masalahnya sekarang Usul ini telah dicadang dan disokong. Soalannya sekarang usul ini hendaklah dikemukakan untuk mendapat kelulusan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan usul ini, sila nyatakan “Setuju”, [Ahli-ahli Yang Berhormat menyatakan “setuju”]. Terima kasih. Ahli-ahli yang tidak bersetuju, sila nyatakan “Tidak”. Tiada. Usul tersebut diluluskan.
Usul (ii)Motion
Perkara Ketujuh : Usul (ii)
Usul Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Kelas Pengajian Takmir Negeri Pahang. YB. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon izin untuk membawa satu usul yang berbunyi:
“Bahawa Dewan Mulia ini, mengikut peruntukan Seksyen 10(4)(b) Akta Prosedur Kewangan 1957 bersetuju menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Kelas Pengajian Takmir Negeri Pahang.”
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Bil.35/2019 pada 07 November 2019 telah menimbangkan Kertas Cadangan daripada Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang dan bersetuju supaya Jabatan Agama Islam Pahang menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Kelas Pengajian Takmir Negeri Pahang. Kumpulan Wang ini ditubuhkan bagi tujuan membiayai pembelajaran-pembelajaran berkaitan pengurusan, latihan dan pengajaran Kelas Pengajian Takmir termasuk penerimaan peruntukan, bantuan atau sumbangan kepada Kelas Pengajian Takmir meliputi Pihak Pengurusan Takmir Negeri, Penyelarasan Pentadbiran Masjid Daerah dan guru-guru takmir.
Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Kelas Pengajian Takmir Negeri Pahang akan membolehkan Jabatan Agama Islam Pahang:
1. Memperakaunkan penerimaan bantuan atau pemberian daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, sumbangan dari lain-lain pendapatan yang diluluskan; dan
2. Merekodkan pembela... perbelanjaan-perbelanjaan berkaitan pengurusan Kelas Pengajian Takmir Negeri Pahang.
Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Kumpulan Wang ini akan ditadbirkan oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang dan enam orang ahli yang terdiri daripada Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Ketua Penolong Pengarah bahagian pengurusan Masjid dan Surau, Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau, Pegawai Penyelaras Takmir negeri Pahang dan Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan.
Dato’ Sri Yang di-Pertua penubuhan kumpulan wang ini akan memberi gambaran sebenar berkaitan penyaluran daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan Negeri, Anak-anak Syarikat Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan orang ramai. Ia juga bertujuan mempastikan rekod-rekod kewangan diperakaunkan dengan teratur dan mematuhi semua prosedur kewangan bagi menguruskan perbelanjaan kelas pengajian Takmir negeri Pahang.
Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Dewan Yang Mulia ini mengikuti peruntukan dibawah Seksyen 10 (4) (b) Akta Prosedur Kewangan 1957 bagi menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Kelas Pengajian Takmir negeri Pahang.
Dato’ Sri Yang di-Pertua saya mohon mencadang.
Dato’ Sri Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon menyokong usul itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, masalahnya ialah usul ini telah dicadang dan disokong. Persoalannya sekarang usul ini hendaklah dikemukakan untuk mendapat kelulusan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan usul ini sila nyatakan
“setuju”, [Ahli-Ahli dewan menyatakan setuju], Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak”. Tiada. Usul tersebut diluluskan.
Laporan
Perkara Kelapan: Laporan
Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pahang Tahun 2018 Siri 2. Kertas DN 1/2020.
Penyata Kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) Berakhir 31 Disember 2018. Kertas DN 2/2020.
Perkara Kesembilan: Penangguhan
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon membawa cadangan bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Alhamdulillah saya merakamkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran terhadap Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya kita dapat melaksanakan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Keempat Belas pada hari yang penuh berkat ini. Walaupun persidangan pada hari ini terpaksa dijalankan dengan cara yang ringkas tetapi ianya merupakan satu sidang yang amat penting dan perlu untuk disempurnakan berdasarkan tempoh masa yang telah ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh kerajaan Negeri Pahang seperti mana Yang Berhormat Tuan di-Pertua sedia maklum tarikh akhir untuk kita mengadakan sidang dewan ini ialah pada 21 Mei. Andainya kita tidak mengadakan pada tarikh tersebut sidang dewan kita akan terbubar dengan sendiri. Oleh sebab yang demikian kita telah mengambil langkah supaya ianya dapat diadakan di saat-saat yang tidak terlalu lewat kalau saat-saat akhir kita bimbang pelbagai kemungkinan akan berlaku dan ini mungkin menyebabkan dewan kita akan terbubar dengan sendirinya.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Sebelum saya meneruskan ucapan saya pertama sekali saya nak respon daripada ADN Sungai Lembing tadi yang banyak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan sebagainya tetapi ini adalah usaha bersama antara Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADN, SS, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai Daerah dan juga penyumbang-penyumbang secara langsung atau pun tidak langsung. Kepada ADN daripada Bilut saya ucapkan juga terima kasih kerana telah menyampaikan sumbangan kerajaan negeri yang diberikan kepada ADN-ADN pembangkang sebanyak 2 kali. Saya difahamkan juga sumbangan tersebut telahpun sampai kepada mereka yang terkesan akibat wabak COVID-19. Walaupun YB. mungkin lupa nak sebut daripada Kerajaan Negeri hanya terima kasih kepada Kesihatan, PDRM, Bomba dan sebagainya, mungkin tertinggal yang Kerajaan Negeri pun ada sedikit sebanyak membantu juga kawasan Ahli-ahli Yang Berhormat daripada pembangkang.
Begitu juga daripada Tanjung Lumpur mengucapkan terima kasih di atas sumbangan mintak kaji semula bantuan sama ada dalam bentuk barangan atau duit. Sebenarnya kita mengkaji juga pada peringkat awalannya kerajaan negeri dicadangkan untuk menyalurkan bantuan RM200.00 kepada 18,000 orang secara tunai, tetapi kalau kita bagi secara tunai secara tidak langsung kita big the purpose, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, perintah kawalan pergerakan. Bila kita masuk duit ke bank, masyarakat akan berpusu-pusu pergi ke bank untuk nak ambil duit. Jadi penyelesaiannya adalah RM150.00 tunai dan RM50.00 untuk barangan dan dalam masa yang sama kita buat daripada 22 inisiatif tersebut ada juga yang kita bagi terus dalam bentuk barangan.
Yang ini kita akan kaji terima kasih banyak dan begitu juga daripada bekas Menteri Besar yang Keempat Belas tadi ada membangkitkan beberapa perkara. ADN Pelangai tak setuju kalau kita sebut mantan er… nak sebut bekas pun tak setuju juga, jadi kita sebut Bekas Menteri Besar Yang Keempat Belas. Saya er.. Menteri Besar Yang Keempat Belas, saya yang kelima belas. (ketawa).
Betul la tu
Pertama sekali Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada ADN Pelangai saya berasa begitu sayu sedih bila ADN Pelangai bekas bos saya yang mengatakan sayang kepada saya tapi saya nak bagitau juga dewan yang mulia ini saya pun sangat sayang pada ADN Pelangai (Ahli Dewan mengetuk meja). Pertamanya seperti mana yang saya katakan banyak kali saya berada di sini pun selain daripada keizinan Allah SWT, kerana Allah telah membuka pintu hati Yang Berhormat ADN Pelangai menjemput saya balik untuk berkhidmat di Pahang pada tahun 2004. Itu sangat saya kenang sehinggalah ke hari ini dan seterusnya membantu saya dalam karier politik saya mengambil saya menjadi EXCO dan saya juga percaya memberi sokongan kepada saya untuk mendapat perkenan daripada tuanku untuk dilantik sebagai Menteri Besar Pahang.
Pandangan daripada Yang Berhormat ADN Pelangai tadi memang Kerajaan Negeri akan mengambil perhatian dan sebelum itu pun setelah Kerajaan Negeri mengumumkan berlaku kenaikan cukai ada sedikit apa ni komplain aduan dan sebagainya kita turun kepada 80% dan yang lebih pentingnya ialah kita telah menurunkan kuasa kepada Pegawai Daerah supaya melayani semua masalah yang berkaitan dengan kenaikan cukai tanah. Jangan satu pun yang tertinggal dan yang mana-mana yang boleh kita turunkan kuasa sekiranya tidak boleh dibawa kepada PTG dan PTG akan diberi kepada SS, Yang Berhormat SS dan SS akan bawa semula kepada EXCO untuk dibincangkan.
Saya rasa yang ini mungkin ada yang terlepas pandang, ada yang masih belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya kerana apa yang saya selalu bertanya sama ada kepada PTG kepada DO dan kepada SS. Adakah lagi masalah-masalah bersabit dengan kenaikan hasil tanah ini dan jawapan yang saya terima adalah sikit-sikit, contohnya begitulah dan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat daripada Pelangai nanti kita akan lihat, kita akan ambil perhatian dan insya-Allah kita akan cuba selesaikan dengan cara yang terbaik kerana memang kita pun tidak mahu membebankan rakyat kerana itu adalah menjadi tanggungjawab kita.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Di kesempatan ini saya ingin juga menzahirkan ucapan menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyempurnakan Titah Diraja dan seterusnya menyempurnakan perasmian pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-14 sebentar tadi. Sesungguhnya Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, yang dibuat melalui rakaman video memberi makna yang amat besar dan begitu mendalam kepada patik-patik sekalian. Ini jelas membuktikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku begitu mengambil berat terhadap perjalanan dan urusan Persidangan Dewan Negeri Pahang Yang Mulia ini.
Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan begitu baik sehingga menyaksikan persidangan Dewan Negeri Pahang kali ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur walaupun kita sekarang berada di dalam tempoh perintah kawalan pergerakan dan ancaman penularan wabak pandemik COVID-19. Kebijaksanaan dan wisdom Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, begitu terserlah walaupun berdepan dengan tugas yang berat dan mencabar ini. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua mampu mengendalikan dengan begitu baik dan cemerlang seperti yang dapat kita sama-sama lihat pada hari ini walaupun saya tahu Yang Berhormat Yang di-Pertua kurang exercise kerana musim Covid ini padang golf tutup tapi nampaknya Yang Berhormat sangat bertenaga untuk mengendalikan mesyuarat kita pada pagi… [Ahli Dewan menepuk meja].
Samalah juga dengan Yang Berhormat, tidak… sama-sama di padang, biasanya.
Tak apa, kita tunggulah ya. Lepas ini.
Kita tunggu.
Arahan daripada pihak Kerajaan. Yang Berhormat Tuan di-Pertua, memandangkan kita sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan ancaman penularan wabak pandemik COVID-19 perjalanan Persidangan Dewan Negeri Pahang pada hari ini perlu berlandaskan kepada Standard Operating Procedure yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya dalam aspek mematuhi keperluan penjarakkan sosial dan amalan penjagaan kebersihan dan seperti mana yang kita lihat di Dewan Yang Mulia pada hari ini Yang Berhormat Tuan di-Pertua telah pun menggubah kedudukan kita dan telah pun menjarakkan kita sekurang-kurangnya 1 meter dan sebab itulah ada berlaku perubahan sehingga Yang Berhormat SS pun terpaksa duduk tak ada meja, tak ada mic dan beberapa ketua jabatan terpaksa duduk di atas dan begitu juga beberapa ADN yang terpaksa kita ubahsuaikan. Kita harap supaya keadaan begini sementara sahaja. Insya-Allah di masa yang akan datang, sidang dewan yang akan datang kembali kepada asal. Kita berdoalah supaya wabak COVID-19 ini dapat kita lenyapkan dari bumi Pahang dan juga bumi Malaysia.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Alhamdulilah. Saya bersyukur kerana segala urusan dan ketetapan yang dibuat oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua Dewan disambut baik oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dengan mematuhi sepenuhnya segala apa yang telah ditetapkan sepanjang tempoh persidangan ini berlangsung. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian atas kehadiran pada hari ini dan juga atas kerjasama baik yang diberikan. Semoga usaha kita ini akan menjadi contoh teladan kepada rakyat jelata di negeri Pahang dalam usaha kita membendung dan seterusnya mengatasi penularan wabak pandemik COVID-19. Insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Mengambil kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kerana telah menyempurnakan misi penyampaian bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ancaman penularan wabak pendamik COVID-19 di seluruh negeri Pahang. Sepertimana kita semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pahang sedang dan telah melaksanakan 22 inisiatif bagi membantu rakyat yang terkesan secara berperingkat seperti berikut:
I. Fasa 1 - diumumkan pada 23 Mac 2020 melibatkan sebanyak lapan (8) inisiatif.
II. Fasa 2 - diumumkan pada 30 Mac 2020 melibatkan sebanyak lima (5) inisiatif.
III. Fasa 3 - diumumkan pada 8 April 2020 melibatkan sebanyak sembilan (9) inisiatif. Inisiatif-inisiatif tersebut meliputi pemberian dalam bentuk wang tunai, sumbangan barangan keperluan harian, mahupun pelepasan-pelepasan atau diskaun-diskaun tertentu yang diberikan demi meringankan beban kewangan dan ketidakselesaan yang dihadapi oleh rakyat yang meliputi pelbagai latar belakang kaum dan kerjaya. Peruntukan serta nilai implikasi kewangan yang ditanggung oleh kerajaan negeri bagi menjayakan semua 22 inisiatif tersebut adalah sebanyak RM24.347 juta, atau kira-kira 3.3% daripada nilai Bajet Negeri Pahang 2020 sebanyak RM739.89 juta. Melalui 22 inisiatif yang telah kerajaan negeri laksanakan dalam tempoh hampir 4 minggu ni, seramai 97,669 Ketua Isi Rumah (K.I.R) di seluruh Pahang telahpun menerima manfaatnya terutama dalam bentuk barangan keperluan dapur dan harian.
Jika kita bandingkan dengan kira-kira 365,800 Ketua Isi Rumah yang terdapat di negeri Pahang, ini bermakna kira-kira 26.7 peratus daripada keseluruhan Ketua Isi Rumah di Negeri Pahang telahpun menikmati faedah daripada inisiatif-inisiatif yang Kerajaan Negeri perkenalkan. Sungguhpun begitu, sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, usaha Kerajaan Negeri Pahang tidak akan terhenti disitu sahaja. Kita masih lagi memikirkan apakah lagi bantuan yang boleh diberikan dan siapakah lagi golongan sasar yang perlu dibantu dengan memperkenal dan melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu di bawah pakej bantuan Fasa Keempat. Ini juga bergantung kepada kemampuan kewangan negeri, serta keperluan dari semasa ke semasa, insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Penularan wabak pandemik COVID-19 ini telah mula menimbulkan banyak kebimbangan tentang kesan negatif terhadap pembangunan ekonomi dan juga persekitaran perniagaan. Ramai pihak meramalkan bahawa dunia akan berdepan dengan situasi kemelesetan ekonomi yang pastinya akan turut memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan negeri khususnya.
Bagi mendepani situasi ekonomi yang tidak menentu dan mencabar ini Kerajaan Negeri Pahang menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang di atas titah saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri atau ‘M-Ten’, bagi menangani masalah yang dijangka akan berlaku dalam pembangunan ekonomi negeri dalam era Pasca-COVID-19. Dengan persekitaran ekonomi dan perniagaan yang lebih mencabar sekarang ini, penubuhan ‘M-Ten’ adalah suatu yang tepat dan sangat kena pada masanya. Adalah diharapkan ‘M-Ten’ yang akan turut dianggotai oleh barisan tokoh ekonomi yang berkaliber seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar akan dapat membantu Kerajaan Negeri bukan sahaja memulihkan ekonomi malah melonjakkan lagi pembangunan ekonomi di Negeri Pahang ke tahap yang lebih tinggi dan maju.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Kerajaan Negeri Pahang ingin merakamkan ucapan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pasukan perubatan, anggota polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia ataupun RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ataupun APM, Majlis Keselamatan Negara ataupun MKN dan sebagainya yang bertugas siang dan malam tanpa mengenal erti penat dan lelah menghadapi kejadian COVID-19 di Malaysia amnya dan di Negeri Pahang khususnya.
Secara keseluruhnya, kes COVID-19 di Malaysia telah mula menunjukkan penurunan sejak beberapa hari ini. Namun, kita masih belum lagi memenangi peperangan ini sepenuhnya. Kita jangan cepat leka dan mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan. Sehubungan dengan itu, saya menyeru seluruh rakyat Negeri Pahang agar terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan. Kita perlu terus berada dirumah, kekalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain dan mengamalkan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun. Pendekatan ini amat penting dalam usaha kita memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Hanya beberapa hari lagi, umat Islam di seluruh dunia akan mula menyambut bulan yang mulia, bulan Ramadan Al-Mubarak. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua yang beragama Islam. Dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuatkuasa sehingga 28 April 2020 atau mungkin dilanjutkan lagi Wallahualam dan penularan wabak COVID-19, sudah pasti sebahagian atau mungkin sepenuhnya bulan Ramadan pada tahun ini adalah Ramadan yang agak berbeza daripada yang biasa kita lalui sebelum ini. Mungkin tiada kemeriahan majlis berbuka puasa bersama-sama khalayak ramai, mungkin juga masjid dan surau tidak lagi meriah dengan jemaah yang menunaikan solat Jemaah dan tarawih begitu juga dengan majlis tadarus beramai-ramai di masjid atau surau. Pilu juga hati bila mengenangkannya.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Sayu rasanya kerana ianya tidak pernah berlaku di dalam kehidupan kita sebelum ini. Namun Begitu, saya pasti ini semua ada hikmah terbaik daripada Allah SWT. Inilah yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini, kita perlu menerima hakikat normal baru atau “new norm” yang kita hadapi kini. Sebagai umat Islam kita perlu redha dan terus istiqomah melakukan ibadah yang diwajibkan kepada kita sepanjang bulan Ramadan ini selaras dengan peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh pihak pemerintah.
Saya berharap, rakyat terus patuh dengan ketetapan ini sesunguhnya, apa yang dialami ini sesuatu yang unprecedented atau tidak pernah terjadi. Oleh itu ianya memerlukan tindakan yang unprecedented juga untuk menangani dan mengatasinya.
Ketetapan dan perintan yang dibuat oleh pihak Kerajaan ataupun Umara’ ini adalah atas nasihat dan pandangan hukum oleh para mufti dan ulama’. Oleh itu, sebagai seorang Muslim dan Muslimat, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk tunduk dan akur kepada perintah yang digariskan oleh pihak pemerintah.
Sama-samalah kita berserah kepada Allah SWT dan wajib kita percaya bahawa pada setiap kesukaran yang menimpa tentu ada kemudahan atau kesenangan datang bersamanya. Ini sepertimana yang termaktub di dalam Surah al-Insyirah, Ayat 5 dan 6 yang maksudnya: “Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesunguhnya tiap-tiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan. Bahawa sesunguhnya tiap-tiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan” (Bacaan dalam Bahasa Arab)
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Sebelum saya menamatkan ucapan, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. Dalam Masa kes COVID-19 ini untuk makluman Yang di-Pertua, Pengerusi Jawatankuasa Bencananya ialah Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan. Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan selaku Pengerusi telah bermesyaurat tiap-tiap hari dan manakala saya selaku Pengerusi Jawantakuasa Keselamatan bermesyuarat seminggu sekali. Walau bagaimanapun perkembangan semasa akan dilaporkan oleh Pengerusi Jawatankuas Bencana kepada saya. Jadi dalam masa… Jadi pada hari ini di Dewan Yang Mulia hari ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pegawai-pegawai Kerajaan, urus setia Dewan Negeri, Polis Diraja Malaysia yang mengawal keselamatan sepanjang kita bersidang pada harini dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam perjalanan Sidang Dewan Negeri Pahang pada kali ini. Hanya Allah jua lah yang mampu membalas jasa dan pengorbanan anda semua.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Saya dengan ini mengusulkan Persidangan Dewan Negeri Pada hari ini ditanguhkan. Assalamualaikum WBT. [Ahli Dewan menepuk meja].
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon menyokong usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang. Terima kasih.
Terima kasih. Baiklah Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Kita telah sampai ke penghujungnya saya merakamkan rasa kesyukuran yang amat besar pada Allah SWT mesyuarat yang ringkas ini berlangsung dengan lancar dan selamat. Ahli-ahli Yang Berhormat telah menghormati Dewan ini dengan memberi kerjasama yang sebaik-baiknya kepada saya. Terima kasih.
Seluruh dunia sedang berdepan dengan sebuah peperangan yang amat kritikal. Kita diuji oleh Allah SWT sebagai hamba-Nya kita tetap bersabar di samping berusaha untuk mengatasinya. Terima kasih kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang bertindak pantas dan bijaksana menyalurkan beberapa bantuan kepada rakyat, langkah-langkah pencegahan terus diperkasakan. Amanah rakyat sentiasa dijunjung dalam apa suasana sekalipun.
Tahniah kepada Yang Amat Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat yang sentiasa turun padang bagi menyalurkan bantuan untuk rakyat. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang yang telah banyak memberi panduan dan kerjasama yang amat baik. Terima kasih juga kepada Polis DiRaja Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan, JKR Bahagian Elektrik, Unit Komunikasi dan Media Pahang atau UKOM, media massa dan juga pegawai-pegawai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang yang telah membantu melancarkan mesyuarat kita pagi ini.
Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar jentera kerajaan khasnya yang bertugas di barisan hadapan, pasukan keselamatan dan rakyat yang akur dengan arahan kerajaan agar diberi kehormatan oleh Allah SWT. Disebalik kedukaan pasti akan muncul sinar kebahagiaan. Demikianlah janji Allah kepada hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa. Sukacita saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak, mudah-mudahan segala amalan dan ibadah puasa kita dirahmati, diredhai oleh Allah SWT serta mendapat syafaat daripada Allah sebanyak-banyaknya.
Saya ucapkan selamat pulang kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Teruskan usaha, jaga kesihatan diri dan insya-Allah kita dapat berjumpa lagi di persidangan akan datang. Marilah kita bersama-sama menutup persidangan kita pagi ini dengan membaca Surah Al-An’nas.
Mesyuarat ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Wasalamualaikum WBT. Terima kasih.
[Persidangan ditangguhkan]