Pahang · 16 November 2020

14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 94 turns · 16,183 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-14, di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Hari : Isnin, 16 November 2020

bersamaan 30 Rabiulawal 1442 Hijriah Masa : 9.30 pagi

DOA

Bacaan doa.

Yang di-Pertua (Speaker)

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah, dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir masalah masyarakat, pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.

Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan Taufik-Mu, dipohonkan menyuluh, memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama; serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohon doa kami diperkenan. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Mengesahkan Peringatan Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.

Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Keempat Belas pada 24 Ogos 2020 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh, selamat pagi dan salam sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon izin membawa cadangan bahawa Peringatan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Keempat Belas pada 24 Ogos 2020 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.

Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh, salam sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon izin menyokong cadangan tersebut.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, soalannya ialah suatu cadangan bagi mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Keempat Belas pada 24 Ogos 2020 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan, telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa-apa pindaan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju sila nyatakan “setuju”.

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Setuju.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak”. Tiada. Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.

PEMASYHURAN

Pemasyhuran daripada Yang di-Pertua

Setiausaha Dewan

Perkara Ketiga: Pemasyhuran daripada Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua (Speaker)

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Selamat Pagi. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Alhamdulillah dan marilah kita bersama-sama bersyukur kehadrat Allah S.W.T., dengan izin-Nya kita semua dapat menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Keempat Belas pada pagi yang berbahagia ini. Pada pagi ini, saya lihat Ahli-ahli Yang Berhormat kelihatan bersemangat dan komited untuk terus berkhidmat pada bangsa dan tanah air.

Saya ingin memaklumkan Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa Yang di-Pertua Dewan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Ishak bin Haji Muhamad telah menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) dan kini sedang menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh dan dapat terus berkhidmat seperti sedia kala, dan saya dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua Dewan Negeri telah pun beransur baik.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, mengikut bilangan 2, 21, 22 dan 23 dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Orders), Yang di-Pertua boleh menetapkan kerusi bagi tiap-tiap Ahli Dewan dan boleh mengubah ketetapan ini dari semasa ke semasa sebagaimana yang baik pada pertimbangannya.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kedudukan kerusi telah kembali seperti susunan asal sebelum berlakunya wabak COVID-19. Bagaimanapun, atas nasihat dan pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, pihak Dewan Negeri telah memasang penghadang lutsinar sebagai langkah kawalan kesihatan. Pun begitu, pemakaian pelitup muka perlulah dipakai sepanjang masa, kecuali semasa Ahli-ahli Yang Berhormat menyampaikan ucapan dan perbahasan.

Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat berasa selesa dengan norma baharu ini dan tidak mengganggu fokus Ahli-ahli Yang Berhormat dan terus dapat menyumbang kepada Dewan yang mulia ini. Kita sedia maklum bahawa situasi negara masih lagi belum bebas daripada menghadapi wabak COVID-19. Atas kesedaran tersebut, adalah wajar untuk kita memastikan sesi persidangan ini berpandukan kepada Prosedur-prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Justeru, atas kesedaran tersebut, saya ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat dan Ketua-ketua Jabatan yang hadir untuk terus mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan dari semasa ke semasa. Antaranya ialah mengamalkan 3W iaitu Wash (basuh tangan), Wear (memakai pelitup muka) dan Warn (elakkan bersalaman dan rawatan jika bergejala) dan mengelakkan 3C iaitu close conversation (sembang dekat), crowded places (tempat sesak) dan confined spaces (tempat sempit dan tertutup).

Oleh itu, saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa menjaga diri kerana kita merupakan role model kepada rakyat dan sentiasa mengingati pesanan Kementerian Kesihatan “Kita Jaga Kita”. Suka saya memohon Ahli-ahli Yang Berhormat agar memberi kerjasama kepada saya sebagai Yang di-Pertua Dewan Negeri, semoga sesi mesyuarat dapat diadakan dengan lancar dan sempurna. Baiklah, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita teruskan dengan aturan mesyuarat yang seterusnya.

Pertanyaan-Pertanyaan Kepada Menteri BesarQuestions

Setiausaha Dewan

Perkara Keempat: Pertanyaan-pertanyaan Kepada Menteri Besar

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Suka saya memaklumkan bahawa Sesi Pertanyaan-pertanyaan kepada Menteri Besar akan disusuli dengan beberapa pertanyaan lisan. Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan bahawa saya akan menghadkan bilangan pertanyaan dikemukakan. Pertanyaan lisan mestilah ringkas dan padat supaya kita dapat bersidang dalam masa yang ditetapkan.

Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya menjemput Ahli Yang Berhormat daripada Kawasan Teruntum. Silakan.

Encik Sim Chon SiangPKR · PHTeruntum

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, soalan saya nombor 1.

[Banjir di negeri Pahang.

a) Berapakah kos yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri sejak 2017 hingga kini untuk mengatasi banjir di negeri Pahang?

b) Jika tiada fenomena banjir besar berlaku di Pahang, apakah yang dilakukan ke atas stok barang bantuan yang telah disiap siagakan?]

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat daripada Teruntum yang bertanyakan soalan berkenaan dengan kos banjir yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2017 bagi tujuan untuk mengatasi banjir di negeri kita.

Soalan yang ke-2, Yang Berhormat bertanyakan jika tiada fenomena banjir apakah yang dilakukan ke atas stok barang yang telah disiap siagakan di pengkalan hadapan.

Untuk makluman Yang Berhormat daripada Teruntum, peruntukan Kerajaan Negeri sahaja bagi mengatasi banjir semenjak tahun 2017 sehingga 2020, sehingga kini berjumlah RM11,055,831.74. Manakala peruntukan daripada persekutuan, tempoh yang sama berjumlah RM498,790,501.99.

Kalau diikutkan pecahan mengikut tahun, bagi tahun 2017: RM3.8 juta Kerajaan Negeri, Persekutuan RM155 juta. 2018: Kerajaan Negeri RM2.5 juta, Kerajaan Persekutuan RM192 juta. 2019: Kerajaan Negeri RM1.8 juta, Kerajaan Persekutuan RM92 juta. Tahun ini, sehingga kini Kerajaan Negeri RM2.9 juta, manakala Kerajaan Persekutuan RM58 juta.

Manakala bagi soalan (b), untuk makluman Yang Berhormat, sebelum tahun 2019 semua stok barang yang tidak habis akan diagihkan kepada komuniti setempat dan golongan sasar jabatan secara sumbangan yang diuruskan melalui Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah. Walau bagaimanapun, bermula tahun ini, sekiranya ada stok yang tidak habis ataupun tidak berlaku banjir, pihak syarikat yang membekalkannya akan buy back maknanya dia sanggup beli dengan harga 30% daripada harga asal dan hasil daripada jualan tersebut akan dimasukkan ke dalam Tabung Kumpulan Wang Amanah Malapetaka Negeri Pahang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Encik Sim Chon SiangPKR · PHTeruntum

Soalan tambahan.

Encik Sim Chon SiangPKR · PHTeruntum

Terima kasih atas jawapan diberi oleh YAB Menteri Besar.

Soalan tambahan saya adalah untuk projek mendalamkan Sungai Kuantan untuk mengelakkan banjir kilat di Bandar Kuantan seperti 2013 dan 2014. Soalan saya, bilakah projek ini akan dijalankan? Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, soalan daripada ADUN Teruntum ni, bertanyakan peruntukan 2017 dan stok bekalan.

Jadi projek tu tahun bila Yang Berhormat?

Encik Sim Chon SiangPKR · PHTeruntum

Maksud saya bila projek ini akan dijalankan? Mendalamkan sungai.

Yelah. Projek apa? Dan bila?

Encik Sim Chon SiangPKR · PHTeruntum

Mendalamkan sungai, korek pasir dan mendalamkan untuk mengelakkan banjir kilat seperti pada tahun 2013 dan 2014.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Untuk mendalami pasir ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pengurusan Pasir Pahang Berhad. Yang tersiratnya, selain daripada kita menubuhkan Pengurusan Pasir Pahang Berhad tersebut untuk mengelakkan ketirisan penjualan secara haram pasir, adalah juga bertujuan mendalamkan sungai secara tidak langsung. Dan ini telah terbukti semenjak tahun 2018, 2019. Dan sama-sama kita berdoa supaya pada tahun ini juga tidak berlaku lagi banjir besar dan ini menunjukkan bahawa ada kesan-kesan positif daripada tindakan Kerajaan Negeri. Terima kasih Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua (Speaker)

Baiklah. Saya pergi ke soalan seterusnya. Jemput ADUN Kuala Semantan.

Dato’ Nor Azmi bin Mat LudinUMNO · BNKuala Semantan

Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum WBT. Dato’ Sri Yang di-Pertua, soalan saya nombor 2.

[Apakah tindakan kerajaan negeri untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan yang terjejas oleh COVID-19?]

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri, Perbadanan Produktiviti Malaysia dan juga Malaysian Tourism Council telah bekerjasama mengadakan khidmat nasihat secara dalam talian maya iaitu “Tourism Virtual Advisory Clinic (T-VAC)” yang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar semasa kita mengadakan mesyuarat Exco di Bentong. Khidmat nasihat ini membuka peluang kepada semua pengusaha-pengusaha pelancong untuk mendapatkan nasihat kepakaran, pengurusan dan kewangan dalam menghadapi realiti dan normal baru bagi mendepani pandemik COVID-19 yang dijangka akan terus kekal dalam kehidupan kita di masa-masa yang akan datang ataupun sehinggalah vaksin tersebut dapat ditemui.

Mengaktifkan kerjasama negeri-negeri jiran bersempadanan seperti Perak, Selangor, Johor dan juga… dan Negeri Sembilan, bagi negeri-negeri wilayah pantai timur Terengganu dan Kelantan dalam memasarkan pakej-pakej menarik intra negeri. Kerajaan Negeri juga sedang giat mengadakan beberapa siri lawatan famere...

fameri... familisasi… familiarization. Minta maaf ye Dato’ Yang di-Pertua, tak minum lagi.

Familiarisation product pasca COVID-19 di seluruh daerah di negeri Pahang bersama dengan pengamal-pengamal media, bloggers, influencers dan juga pengusaha pelancong atau pun travel agent bagi mempromosi destinasi pelancongan baru dan sedia ada melalui paparan media, melalui media cetak, media elektronik mahupun media sosial. Kita menggunakan tag line sebab kita sekarang ni tak boleh semua melawat kita cakap “dream today, visit Pahang tomorrow”.

Pengusaha-pengusaha pelancongan juga wajib menghasilkan pakej-pakej pelancongan hasil daripada lawatan famili… familai… familiarisasi tersebut bagi mempromosikan dan membawa lebih ramai pelancong ke negeri Pahang. Seterusnya Kerajaan Negeri juga akan terus bersama dengan Tourism Malaysia di dalam program-program promosi mereka, terima kasih.

Yang di-Pertua (Speaker)

Baiklah. Kita pergi kepada soalan seterusnya. Saya menjemput Yang Berhormat ADUN Damak.

Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum WBT. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, soalan saya nombor 3.

[ a) Berapakah jumlah keluasan tanah yang telah diluluskan untuk projek durian Musang King di daerah Jerantut?

b) Apakah langkah-langkah yang diambil bagi memastikan projek durian Musang King tidak menjejaskan kawasan tadahan air?]

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Terima kasih kepada ADUN Damak kerana mengemukakan soalan berkaitan dengan penanaman mini projek penanaman durian Musang King di daerah Jerantut dan bagi menjawab soalan pertama iaitu berapakah keluasan yang telah diluluskan di daerah Jerantut.

Sebenarnya berdasarkan kepada rekod yang ada di Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang atau PSK, sehingga 20 Oktober tahun 2020, keluasan yang telah diluluskan ialah 268.19 ekar di mukim Tembeling dan mukim Ulu Cheka, daerah Jerantut. Dan keluasannya ialah 250 ekar di mukim Tembeling, di mana tahun kelulusannya tahun 2016 kepada Ladang Sungai Retang, syarikatnya. Dan di Ulu Cheka kelulusan tahun 2020 ialah kepada Syarikat Kawah Mas Services Sdn. Bhd. seluas 48.19 ekar, di mukim Ulu Cheka.

Namun pada masa yang sama terdapat juga sebuah syarikat yang telah mengemukakan permohonan untuk kelulusan penukaran syarat guna tanah kepada sawit yang asalnya kepada tanaman Musang King di kawasan mukim Ulu Cheka seluas 3,833 ekar. Itu yang soalan yang pertama.

Yang kedua pula apakah langkah-langkah yang diambil bagi mempastikan Musang King tidak menjejaskan kawasan tadahan air? Untuk makluman Dewan yang mulia ini, projek-projek pembangunan pertanian ataupun agro yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri sebenarnya diluluskan dengan syarat, tertakluk kepada peraturan yang perlu dipenuhi semasa dan selepas mendapatkan kelulusan.

Bagi memastikan projek diluluskan tidak mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar. Pihak syarikat yang mendapat kelulusan perlu menyediakan laporan alam sekitar ataupun laporan EIA Environmental Impact Assessment dengan izin yang disyaratkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Selain daripada itu, pemantauan berkala ke atas projek turut dilaksanakan oleh agensi-agensi yang berkaitan bagi mempastikan perlaksanaan projek mematuhi syarat dan peraturan yang telah er… diluluskan. Malahan er… pihak Jabatan Pertanian Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, mengeluarkan garis panduan khas pembangunan tanaman durian di tanah yang bercerun dan ini mempunyai detail ataupun perinciannya bagaimana untuk dilaksanakan projek-projek tanaman durian di kawasan terutama sekali kawasan-kawasan yang bercerun. Itulah di antara yang er… penjelasan di dalam Dewan yang mulia ini. Terima kasih.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih. Baiklah kita pergi ke soalan seterusnya, saya jemput Yang Berhormat ADUN Triang.

Cik Leong Yu ManDAP · PHTriang

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon izin kemukakan soalan 4.

[Terdapat golongan ibu tunggal warga asing yang selalu dipinggirkan dari sistem bantuan kewangan kerajaan, walaupun mereka bukan warganegara tapi perlu menanggung anak-anak kecil yang merupakan warganegara Malaysia, adakah kerajaan negeri bercadang untuk membantu golongan ini?]

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Untuk menjawab soalan Wakil daripada Triang err… untuk makluman ya mengikut garis panduan sistem pengurusan kewangan bantuan bulanan persekutuan dan juga negeri yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, syaratnya hanya warganegara Malaysia yang layak sahaja dipertimbangkan bantuan kewangan bulanan. Tapi kalau Wakil-Wakil Rakyat ada mendapati ada ibu atau bapa tunggal sekalipun yang mempunyai anak-anak warganegara Malaysia yang perlukan bantuan sila kemukakan kepada kami untuk kita bantu ya mengikut permasalahan yang mereka hadapi. Terima kasih.

Cik Leong Yu ManDAP · PHTriang

Soalan tambahan. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,

Saya berterima kasih kepada keprihatinan Kerajaan Negeri untuk bersedia membantu golongan ini. Cuma persoalan adalah sekiranya kita tiada satu sistem untuk membantu mereka yang bantuan yang disalurkan kepada golongan ini dia hanya dikategorikan sebagai ad hoc atau pun one-off atau pun atas budi bicara kerajaan. Jadi untuk jangka

masa panjang dia bukan satu er… akar penyelesaian untuk membantu golongan ini. Adakah Kerajaan Negeri bersedia supaya memasuki kelayakan mereka dalam sistem bantuan kewangan?

Untuk er… makluman YB. daripada Triang juga kita sekarang sedang mengemas kini data kemiskinan negeri Pahang dan sekiranya sesuai dan layak kita akan pertimbangkan. Terima kasih.

Yang di-Pertua (Speaker)

Baik soalan seterusnya saya jemput Yang Berhormat ADUN Teruntum.

Encik Sim Chon SiangPKR · PHTeruntum

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, soalan saya nombor 5.

[Gejala dadah di kalangan remaja.

a) Sila berikan jumlah pelajar yang terlibat dengan gejala dadah di setiap sekolah negeri Pahang mengikut DUN?

b) Apakah langkah dan tindakan yang diambil dalam menangani masalah tersebut]?

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Terima kasih saya ucapkan kepada Teruntum di atas soalan yang dikemukakan kepada pihak kerajaan mengenai gejala dadah yang berlaku di kalangan remaja khususnya di sekolah-sekolah. Beliau memintakan pendetailan di DUN-DUN dan juga langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak berwajib kepada hal ataupun isu yang demikian.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Dadah ini adalah merupakan najis dan musuh kepada negara sepertimana juga isu arak yang kita pandangkan dengan pandangan yang serius kita tidak boleh mengambil lebih kurang dan apa namanya pendetailan yang dimintakan di setiap DUN saya bolehlah hantar secara bertulis. Secara lump sum nya kita boleh katakan setiap DUN itu ada 1 atau 2 kes dan jumlahnya boleh diambil sebanyak 50 kes bagi setiap apa… DUN yang telah dapat dikenalpastikan.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Perkara ini memang kita memandang serius. Pihak sekolah telah mendapat kerjasama daripada AADK bagaimana untuk mengatasi dan memulihkan keadaan yang berlaku di sekolah-sekolah berkenaan. Seumpamanya pihak sekolah sendiri di peringkat awal lagi mengadakan sesi khidmat nasihat oleh guru kaunseling sekolah-sekolah yang terlibat. Pelajar-pelajar diberikan bimbingan, diberikan nasihat, diberikan tunjuk ajar secara kerohanian, secara pemikiran dan juga secara arah tuju kehidupan mereka supaya mereka memahami apakah sebenarnya tujuan dan matlamat mereka yang menyebabkan mereka itu boleh terjerumus kepada gejala dadah.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, AADK juga telah memberikan kerjasama kepada pihak-pihak sekolah dengan mengadakan program pencegahan er… di sekolah-sekolah terutamanya sekolah yang berada di kawasan berisiko tinggi. AADK juga bersama dengan sekolah mengadakan program “Sayangi Hidup, Elak Derita Selamanya” di sekolah-sekolah menengah dan mengadakan program pintar iaitu perlaksanaan Program Intelek Asuhan Rohani kepada anak-anak kita yang di sekolah rendah. Ini semua bertujuan untuk menyedarkan anak-anak kita dan mendidik mereka supaya jauh daripada gejala dadah dan untuk membina matlamat hidup mereka yang lebih selesa. Terima kasih Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Encik Sim Chon SiangPKR · PHTeruntum

Soalan tambahan.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ya Teruntum.

Encik Sim Chon SiangPKR · PHTeruntum

Terima kasih oleh Wakil Kerajaan. Soalan tambahan saya, adakah guru-guru juga terlibat dalam kes dadah di seluruh Pahang ini? Maaflah kepada semua guru tapi saya perlu tanya soalan ini. Terima kasih.

Kita tak dapat nak memberi jawapan secara tepat tetapi kemungkinan tidak boleh kita nafikan juga, insya-Allah kita akan dapatkan datanya dan kita akan jawab secara bertulis kepada Teruntum sama ada, ada ataupun tidak. Terima kasih Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Datin Samsiah binti ArshadUMNO · BNBukit Ibam

Soalan tambahan.

Yang di-Pertua (Speaker)

Sila. Bukit Ibam sila.

Datin Samsiah binti ArshadUMNO · BNBukit Ibam

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kita ketahui bahawa AADK ada mengadakan beberapa program rintis er… untuk bersama-sama dengan penagih-penagih kita er… dan juga keluarga. Jadi soalan saya setakat ini, apakah keberkesanannya di kalangan impak daripada program rintis yang dilaksanakan di kawasan-kawasan focus point? Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Sememangnya setiap program ataupun aktiviti termasuklah di dalam mencegah pengambilan dadah ini hasrat dan harapan kita supaya benda itu akan dapat er… terhenti dan tidak berlaku tetapi apa bukanlah jumlah yang kita katakan sebanyak 50

kes di seluruh negeri Pahang ini sebagai jumlah yang kecil kerana kita tidak nak mengambil ringan tetapi alhamdulillah dengan berkat usaha pihak-pihak pentadbiran sekolah dan AADK ini, perkara ini dapat kita sama-samakan gemblengkan dan juga dapat mengambil tanggapan yang positif daripada anak-anak pelajar kita dan kita berdoa kehadrat Ilahi supaya perkara ini dapat dihentikan dan dijadikan iktibar kepada semua pelajar dan ibu bapa. Terima kasih Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua (Speaker)

Soalan seterusnya, saya jemput Yang Berhormat ADUN Tanah Rata.

Encik Chiong Yoke KongDAP · PHTanah Rata

Selamat pagi YB Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon kemukakan soalan nombor 6. Terima kasih.

[Apakah status dan perkembangan projek membina klinik kesihatan baharu di Cameron Highlands yang diumumkan dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan Malaysia bagi tahun 2020?]

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Dan terima kasih juga kepada Wakil Tanah Rata yang bertanyakan soalan berkaitan dengan pembinaan Klinik Kesihatan baru di Cameron Highlands. Untuk makluman Sidang Dewan Yang di Muliakan, klinik yang dimaksudkan oleh Wakil Tanah Rata adalah klinik kesihatan jenis empat dengan kuarters di Kampung Raja Cameron Highlands. Projek ini telah diluluskan di dalam er… rancangan… di dalam belanjawan yang lalu di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11, Rolling Plan yang Ke-4. Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya di bawah Cawangan Kerja Kesihatan.

Untuk makluman Sidang Dewan yang dimuliakan khususnya Wakil daripada Tanah Rata, mesyuarat penyelarasan projek oleh Jabatan Kerja Raya telah diadakan untuk membentangkan analisa dan flexibility awal untuk teruskan projek ini dan er… status atau perkembangan semasa projek ini masih lagi di dalam tindakan untuk menyediakan pelan reka bentuk pembangunan, Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Encik Chiong Yoke KongDAP · PHTanah Rata

Soalan tambahan.Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,

Bolehkan saya di sini tahu bahawa berapakah anggaran kos untuk pembinaan projek ini dan juga er… jangka masa permulaan untuk projek ini? Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, er… untuk soalan yang berkaitan dengan kos err… kos projek ini kalau mengikut standard bagi KK jenis 4 adalah RM47 juta ataupun RM47.2 juta. Walau bagaimanapun Dato’ Sri Yang di-Pertua, anggaran-anggaran kos ini adalah berdasarkan kepada satu standard yang asas bagi sebuah KK di kawasan Kuala Lumpur.

Ini untuk tujuan belanjawan tapi untuk mengetahui apakah peruntukan ataupun kos sebenar pelaksanaan projek ini, pihak JKR dan pasukan kesihatan perlu turun ke

lapangan untuk melihat bagaimanakah keadaan muka bumi di situ dan bagaimanakah reka bentuk yang sesuai untuk bangunan tersebut dan pastinya ada sedikit sebanyak perbezaan daripada anggaran awal, Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua (Speaker)

Baik. Soalan seterusnya saya jemput Yang Berhormat ADUN Beserah.

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya kemukakan soalan saya yang ke-7.

[Ke arah mewujudkan belia yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi rohaniah, akliah dan jasmaniah, bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara untuk masa depan.

1. Apakah program-program pembangunan belia yang telah berjalan untuk belia di negeri Pahang?

2. Nyatakan jumlah belia yang sedang menyertai Program Pembangunan Usahawan Muda/Belia di setiap daerah.

3. Apakah kaedah pemantauan yang dilaksanakan bagi mengukur keberkesanan setiap program yang dijalankan.]

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua dan terima kasih juga kepada ADUN Beserah yang bertanyakan soalan nombor 7 iaitu ke arah manakah dalam pewujudan belia yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi er… rohaniah, akliah dan jasmaniah, bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta menjadi penggerak kepada semua kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara untuk masa hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri melalui Majlis Belia dan Jabatan Belia serta Sukan Negeri Pahang telah mengadakan beberapa inisiatif program-program pembangunan belia yang telah dilaksanakan di negeri Pahang terbahagi kepada tiga bahagian seperti berikut:

1. Dalam kategori ekonomi:

i. Y-Career (Youth Career); ii. Kem Juara B-Best (Belia Bestari); iii. Program Belia Bestari (B-Best); iv. Youth Business Expo; v. Kursus Rancangan Perniagaan Digital Online Business; vi. Kursus Halal In Food and Beverages (F&B) Industry; vii. Pengurusan Kewangan; viii. Kursus Kemahiran Komersial; ix. Komunikasi Perniagaan;

x. Kursus Ternakan Ikan Air Tawar; xi. Kursus Fertigasi dan ada beberapa kursus yang tak sempat kita laksanakan kerana COVID-19 yang melanda pada masa kini iaitu kursus kepimpinan di Kuala Gandah, kursus diving di Pulau Tioman dan juga kursus drone dan ada juga kursus yang semangat tinggi di kalangan belia-belia pada hari ini iaitu kursus e-Sport, ini bagi kategori ekonomi.

Bagi kategori kepimpinan dan pembangunan sahsiah, program yang diadakan seperti Program Felo Perdana iaitu melibatkan belia-belia dalam urus tadbir khusus di peringkat tertinggi supaya mereka tahu tentang pentadbiran negara dan juga negeri. Kedua, program Felo Korporat yang melibatkan IPTA dan IPTS di negeri Pahang iaitu melibatkan siswazah dan siswi err… siswa dan siswi dalam kursus tersebut.

Anugerah Perdana Belia Negara 2020 Peringkat Negeri Pahang, kita bersyukur pada kali ini untuk makluman Sidang Dewan, alhamdulillah kita telah mendapat Johan bagi kategori Belia dan Beliawanis iaitu saudara Muhammad Izat Afifi Dato’ Haji Abdul Hamid sebagai Tokoh Belia Negara Perdana, johan peringkat kebangsaan adalah belia dari negeri Pahang. Begitu juga beliawanis Cik Norliana binti Muhamad merupakan tokoh beliawanis yang juga johan di peringkat kebangsaan dari negeri Pahang. Dan ada satu lagi iaitu dari kategori persatuan kita mendapat tempat kedua iaitu Persatuan FELDA Siantan Jengka 19, pengerusinya Mohd Zulshafik bin Abdul Wahab. Ketiga-tiga ini alhamdulillah telah diraikan oleh Kerajaan Negeri melalui penyampaian sijil-sijil penghargaan dan juga insentif berupa wang ringgit sebanyak RM10,000.00 setiap seorang. [Ahli Dewan menepuk meja]. Kuat sikit tepuk. [Ahli Dewan menepuk meja]. Terima kasih Sidang Dewan.

Seterusnya untuk makluman Sidang Dewan juga kursus pengurusan organisasi, KPO. Kursus ini melibatkan pelaksanaan di dalam semua daerah dalam negeri Pahang. Ini kategori kepimpinan dan sahsiah. Untuk makluman Sidang Dewan juga kalau satu ketika dahulu kita ada TQO, Total Quality Organisation dan satu masa juga kita ada Total Quality Management ataupun TQM. Mengambil kira soalan ADUN Beserah tadi sebab ADUN Beserah ini dia engineer, ustaz pun ya. Jadi kita ambil satu lagi Total Quality Spiritual iaitu TQS. Insya-Allah belia tidak orang kata mesra agama dan setakat ini alhamdulillah program-program keagamaan setiasa diambil tahu oleh pihak belia untuk melestarikan sahsiah yang menepati akliah err… rohaniah dan jasmaniah.

Sidang Dewan yang dikasihi sekalian, Pembangunan Sosial. Bagi kategori ini pula Kerajaan Negeri mengadakan program sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Negeri Pahang dan antara perkara yang menjadi satu igauan anak-anak muda belia negeri Pahang, kita Kerajaan Negeri telah mengesyorkan satu anugerah iaitu Anugerah Belia Diraja bagi kali kedua tahun ini yang telah diputuskan kepada saudara Al-Jufferi iaitu pemenang Juara Silat Dunia keempat tahun berturut-turut yang sebelum ini tokoh belia yang dinobatkan sebagai Tokoh Belia Diraja iaitu salah seorang belia dari Jengka yang telah berjaya mendaki sehingga ke peringkat kaki Gunung Everest, untuk makluman Sidang Dewan.

Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Pahang Sidang Ke-2 Penggal Ke-32 Sesi 2019 - 2020 juga antara program yang dibangunkan ataupun diadakan bagi kategori pembangunan sosial.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Penglibatan Belia Beliawanis dengan program pembangunan usahawan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Jabatan Belia serta Sukan

Negeri Pahang sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan adalah seramai 337 orang bagi tahun 2019 hingga tahun 2020. Program usahawan belia yang telah dilaksanakan Y-Career atau Youth Career, Kem Juara B-Best, Program Belia Bestari sebagaimana yang sebutkan daripada awalnya juga dan yang keempatnya Youth Business Expo 2019 sempena sambutan Hari Belia Negeri Pahang. Untuk tahun 2020, program usahawan secara bersemuka tidak dapat dijalankan kerana pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Peserta belia yang menyertai Program Usahawan Belia Di Negeri Pahang pada tahun 2019 adalah seramai 337 orang sebagaimana yang saya sebutkan tadi dan pecahannya lebih kurang beginilah ya ikut data yang ada pada saya ini. Kuantan - 47 orang, Pekan - 30 orang, Rompin - 30 orang, Maran - 30 orang, Bentong - 30 orang, Temerloh - 30 orang, Jerantut - 30 orang, Lipis - 30 orang, Bera - 30 orang, Raub - 30 orang dan Cameron Highlands - 20 orang. Kesemua sekali berjumlah 337 orang.

Pemantauan keberkesanan program telah dilaksanakan secara berkala bagi meneliti kelemahan dan potensi setiap program melalui kaedah penyelidikan yang dilaksanakan di Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia ataupun IYRES. Di samping itu juga, setiap beberapa program yang dilaksanakan di jabatan dan daerah, pemantauan serta post-mortem sebelum, semasa dan selepas pelaksanaan program dibuat bagi mendapatkan maklum balas mengenai keberkesanan setiap program tersebut.

Seterusnya setiap program yang dilaksanakan akan dibekalkan borang kaji selidik ataupun soal selidik secara langsung bagi menerima maklum balas terus peserta selepas pelaksanaan program tersebut.

Jadi saya kira jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu kepada ADUN Beserah, terima kasih.

Yang di-Pertua (Speaker)

Baiklah, soalan seterusnya saya jemput Yang Berhormat ADUN Padang Tengku.

Dato’ Mustapa bin LongUMNO · BNPadang Tengku

Assalamualaikum WBT. Soalan saya soalan nombor 8.

[Mohon kerajaan menjelaskan:

Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Jawatankuasa Kemajuan dan Pembangunan Kampung (JKPK) bagi menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dalam konteks negeri Pahang.

1.1. Apakah kerajaan negeri tertakluk dengan keputusan Kerajaan Persekutuan atau kita mempunyai pendekatan dan kaedah tersendiri berkaitan isu ini?]

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Soalan Ahli dari Padang Tengku sedikit sebanyak adalah mengenai institusi JKKK. Kerajaan Negeri masih memperhalusi cadangan pelaksanaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung atau singkatannya JPKK bagi menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung sebelum ini (MPKK) dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, (JKKK).

Pada dasarnya Kerajaan Negeri telahpun bersetuju untuk penjenamaan semula JKKK ini kepada JPKK. Insya-Allah institusi ini akan dilaksanakan bermula pada tahun depan awal tahun depan iaitu 1.1.2021 er… insya-Allah, sekian Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Dato’ Mustapa bin LongUMNO · BNPadang Tengku

Soalan tambahan, er… apa yang saya nak tanya ialah tentang perancangan latihan bagi menyediakan barisan KKK yang betul-betul dapat menangani er… masalah ataupun er… isu-isu kepimpinan semasa itu soalan yang pertama.

Soalan yang kedua ialah berkaitan dengan er… elaun er… ini Tok Empat-tok empat suruh tanya ini sekarang ini kita ape… RM500.00. Adakah kerajaan er… bercadang untuk melaksanakan ataupun naikkan elaun ini kepada tahap upah minima umpamanya daripada RM1,000.00 ke RM1,200.00? terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Soal kursus kepada pimpinan barisan JKKK ini insya-Allah pihak kerajaan sedang merancang untuk mengadakan kursus-kursus ataupun penerangan-penerangan kepada jawatankuasa khususnya yang baru. Mungkin di kampung-kampung pun dia agak keliru sebelum pada ini kerana sebelum pada ini beberapa perubahan apabila berubahnya kerajaan khususnya zaman PH ia bertukar kepada MPKK.

Jadi kalau di kampung tu ada 3. Ada banner JKKK, ada banner MPKK ini ada satu lagi KKK ini. Jadi itu sebabnya pandangan daripada Padang Tengku itu amat baik insya-Allah jika ada selesai dah penjenamaan semula ini pihak Kerajaan Negeri akan menyusun semulalah institusi JKKK ini dengan kursus-kursus yang difikirkan perlu.

Keduanya dari segi elaun apabila kita er… telah menjenamakan semula di bawah KPLB elaun-elaun asas akan dibayar oleh KPLB yang RM500.00 itu. Pada sebelum pada ini Kerajaan Negeri hanya mentopup beberapa sedikit sebanyak jadi sebab itulah sebelum pada ini mungkin ahli… Pengerusi JKKK ini akan mendapat keseluruhan elaun lebih kurang RM800.00 hingga RM1,000.00. Maksudnya KPLB Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan menyediakan elaun yang RM500.00 tadi dan insya-Allah Kerajaan Negeri akan menambahlah itu mengikut keputusan atau kedudukan ini kewangan negeri itu yang biasa sebelum ini, itu sahaja terima kasih.

Yang di-Pertua (Speaker)

Okey.

Dato’ Khairuddin bin MahmudUMNO · BNPulau Manis

Soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Er… saya ingin mengajukan soalan berkaitan dengan JKKK ini ialah berkaitan dengan persempadanan yang dilakukan oleh SPR semasa Pilihan Raya yang lalu

menyebabkan ada JKKK yang mentadbir kawasan sehingga kepada 2 DUN ataupun 2 Parlimen dan ada yang mencakupi sehingga 3 Parlimen ataupun 3 DUN di bawah satu pentadbiran dia.

Soalan saya, adakah pihak kerajaan er… memberi peluang supaya perkara ini dapat kita atur semula di mana setiap JKKK yang dilantik itu dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dia mencakupi kepada DUN-DUN yang diberikan kuasa sebab pada saya jika kita lihat keadaan sekarang maka seseorang Pengerusi JKKK yang akan mentadbir contohnya mentadbir di DUN Inderapura, mentadbir di DUN Pulau Manis, mentadbir di DUN Panching. Jadi adakah pihak kerajaan dapat menerima satu pandangan seandainya kita er… membuat pelantikan baru bagi setiap DUN, terima kasih.

Yang Berhomat Batu Talam, minta laluan Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Soalan yang diajukan oleh ADUN Pulau Manis sebentar tadi sebenarnya Kerajaan Negeri telah pun mengambil tindakan. Baru-baru ini kita telah minta SPR, Pegawai Daerah, Pejabat Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengkaji, menilai dan kita telah pun membuat keputusan, kerana kita memahami setiap apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat tadi. Dan insya-Allah dalam masa terdekat kita akan keluarkan er… secara bertulis sempadan-sempadan baru, pentadbiran baru yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Saya minta maaflah kerana Kerajaan Negeri tidak memberitahu kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat.

Maknanya Kerajaan Negeri lebih kehadapan daripada Yang Berhormat. Ini ada maklumat tambahan. Kemudian er… yang terlibat Pekan, Rompin, Temerloh, Bera dan juga Kuantan, Jerantut tak silap saya. Kuantan, Jerantut. Mana sempadan daerah-daerah yang terlibat, kita buat penyusunan semula bagi tujuan untuk mempercepatkan sesuatu proses ataupun untuk menghalang birokrasi yang selama ini kita dapati yang duduk di er… Jerantut, kena pergi ke Maran. Yang duduk di Maran, kena pergi Jerantut dan sebagainya. Tetapi ianya tidak melibatkan er… pengundi-pengundi… Bentong, Temerloh lagi satu. Boleh dikatakan secara menyeluruh, Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, dan maknanya tindakan telah diambil sebelum Yang Berhormat cakap di Dewan yang mulia ini, terima kasih.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Kita pergi ke soalan seterusnya, saya jemput Yang Berhormat ADUN Ketari.

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera, selamat pagi.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya kemukakan Soalan Nombor 9.

[Krisis ekonomi COVID-19 masih belum menunjukkan kesan penuhnya terhadap ekonomi negara. Apakah usaha untuk kerajaan negeri untuk terus membantu pengusaha kecil dan sederhana untuk memastikan mereka dapat mengharungi krisis ini dan tidak memberhentikan pekerja?]

Dato’ Haji Nazri bin NgahUMNO · BNPulau Tawar

Terima kasih kepada Dato’ Sri Yang di-Pertua, terima kasih juga kepada ADUN Ketari kerana prihatin terhadap rakyat PKS dan peniaga kecil kerana akibat COVID-19. Kerajaan Negeri sentiasa membantu pengusaha kecil, sederhana, PKS dalam pelbagai bentuk.

Pertama, memberi kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis PKNP tempoh selama 6 bulan bermula Mac hingga Ogos 2020. Dua, mengurangkan 50% kadar sewaan bagi usahawan bumiputera bengkel PPD Sungai Soi tempoh 6 bulan bermula Mac hingga Ogos 2020. Tiga, mengurangkan kadar sewaan tanah TKPM iaitu tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan sebanyak 50% daripada kadar sewa yang ditetapkan bermula April 2020 iaitu membantu usahawan tani dalam pengeluaran makanan agar pengeluaran makanan cukup untuk dipasarkan di negeri Pahang.

Nombor empat, pengurangan kadar sewa bagi premis PKPP sebanyak 50% bagi tempoh 4 bulan mulai Mac hingga Jun 2020. Lima, penangguhan kutipan hutang peserta di semua Rancangan Sosial PKPP bagi tempoh 6 bulan bermula daripada Mac hingga Ogos 2020. Enam, pelanjutan tempoh masa bayaran cukai tanah bagi hak milik tanah perniagaan, industri dan pertanian tahun 2020 hingga 31 Julai 2020. Tujuh, pelanjutan tempoh akhir bayaran denda lewat bagi cukai tanah hak milik tanah perniagaan, industri dan pertanian tahun 2020 hingga 1 Ogos 2020 dan pengecualian bayaran duti hiburan tiga bulan bermula Mac hingga Mei 2020.

Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dan menyokong penuh usaha Kerajaan Pusat yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat berupa Subsidi Upah, Geran Khas Prihatin, kemudahan kredit dengan memberi Moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan.

Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan mana-mana jabatan bagi membantu usahawan kecil, sederhana memantau prestasi dan akademi mereka melalui jabatan-jabatan yang berada di negeri Pahang dengan kerjasama Kementerian Kewangan melalui Program PENJANA usaha bagi mempastikan usahawan mendapat bantuan PENJANA dan setakat ini kita mendapat 5 hingga 6% daripada usahawan kecil Pahang daripada RM35 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat.

Kerajaan Negeri juga bekerjasama sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat. Justeru Kerajaan Negeri melalui PBT bertindak bermula daripada bulan April hingga Mei pemansuhan denda lewat bayar cukai taksiran serta bantuan khas tunai secara offline [editor: one-off] di seluruh negeri Pahang. Pihak Berkuasa Tempatan juga PBT membenarkan peniaga kecil penjaja menjalankan perniagaan di kawasan perumahan ketika pergerakan terhad.

Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan agensi kerajaan MARA dengan dalam membasmi mengharungi krisis COVID-19 ini dan untuk tidak memberhentikan pekerja-pekerja. MARA telah menyediakan kemudahan latihan, bimbingan, pembiayaan, geran dan ruang premis perniagaan. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri sentiasa melihat kesusahan semua rakyat jelata di negeri Pahang tidak kira PKS. Sekian terima kasih.

Soalan tambahan. Boleh…

Kalau berkaitan ni… berkaitanlah… kalau tidak… tidaklah. Terpulang kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua untuk membuat pilihan. Ini menyebut pasal COVID ini, Ketari pula bertanya. Baru-baru ini ada timbul Ketari pergi berkelah tak pakai, macam mana ceritanya, ha… itu ceritanya lebih kurang.

Soalan Yang Berhormat Pelangai tiada berkaitan. Jadi saya tidak jawab. Saya jawab. Saya nak tanya soalan tambahan kepada Yang Berhormat Exco.

Yang pertama, tadi ada menyebut mengenai er… 5 hingga 6% er… daripada PENJANA yang diterima daripada RM35 bilion. Jadi saya nak bertanya, berapakah jumlah usahawan kecil dan sederhana Pahang yang dapat daripada 5 hingga 6% tersebut? Itu yang pertama.

Yang kedua, saya nak bertanya er… antara bantuan untuk usahawan kecil dan sederhana daripada Kerajaan Persekutuan adalah Geran Khas Prihatin yang disebut oleh Yang Berhormat Exco. Jadi kita er… sudah mendapat bantuan ini telah menyuntik modal dan mengurangkan beban kos perniagaan. Kita sudah ada GPK 1.0 dan GPK 2.0. Jadi adakah Kerajaan Negeri mempunyai maklumat dan tentang berapa ramai usahawan di negeri Pahang yang menerima bantuan GPK tersebut? Itu saja, terima kasih.

Dato’ Haji Nazri bin NgahUMNO · BNPulau Tawar

Terima kasih kepada ADUN Ketari kerana sangat-sangat prihatin er… kepada PKS di zaman COVID-19 ini. Untuk Kerajaan Negeri Pahang, kita mendapat 5 hingga 6% daripada RM35 bilion. Pada pengiraan saya lebih kurang RM2.1 bilion kepada PKS-PKS untuk negeri Pahang.

Soalan kedua tadi, saya pun dah lupa apa soalan kedua tadi sebab saya memikirkan peratus tadi dah lupa.

Soalan kedua, berapa ramai usahawan kecil dan sederhana daripada negeri Pahang yang mendapat bantuan GPK 1 dan 2, Geran Khas Prihatin?

Dato’ Haji Nazri bin NgahUMNO · BNPulau Tawar

Jumlah tersebut… jumlah usahawan, saya akan siasat dan bagi jawapan bertulis kepada Yang Berhormat, sekian terima kasih.

Encik Lee Ah WongMCA · BNCheka

Soalan tambahan. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengurangkan cukai pintu ataupun cukai tanah terhadap pengusaha sederhana dan kecil ini dalam tempoh setahun atau dua ini? Terima kasih.

Dato’ Haji Nazri bin NgahUMNO · BNPulau Tawar

Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap kesusahan rakyat. Apa yang disarankan oleh Yang Berhormat kita akan perhatian dan perhalusi selepas ini, sekian terima kasih.

Yang di-Pertua (Speaker)

Baiklah kita pergi kepada soalan seterusnya. Soalan yang terakhir pada pagi ini. Saya menjemput Yang Berhormat ADUN Kemayan.

Assalamualaikum. Selamat pagi. Soalan saya soalan nombor 10.

[Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tahun lepas, kerajaan Pahang terpaksa membatalkan 7 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sekitar Jerantut dan Kuantan.

1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat memulakan projek ini semula memandangkan masih ramai generasi muda yang sudah berkahwin masih belum mampu memiliki rumah sendiri berikutan harga rumah di pasaran pada ketika ini melebihi harga RM200,000.00?]

Assalamualaikum Dato’ Sri Yang di-Pertua. Ahli-ahli Dewan yang dihormati sekalian. Terima kasih kepada Kemayan kerana telah menanyakan soalan yang menjadi er… apa ni perhatian utamalah Kemayan.

Terutamanya berkaitan rumah untuk generasi muda. Untuk makluman Kemayan setakat ini memang Kerajaan Negeri ada membatalkan beberapa projek PRIMA Pahang er… atas sebab-sebab yang tertentu. Yang pertamanya adalah tidak membayar earnest money atau wang pendahuluan tanda setuju terima oleh pemaju yang telah diluluskan.

Kegagalan untuk mendapatkan Kebenaran Merancang daripada PBT, kita bagi tempoh sehingga 12 bulan untuk pihak pemaju yang telah diluluskan untuk mendapatkan Kebenaran Merancang dan ada juga kegagalan kerana tidak membayar apa ni… yuran juruukur kepada Lembaga Jurukur menyebabkan tanah yang telah diperuntukkan untuk projek PRIMA tidak dapat diserahkan kepada pemaju.

Soalan yang kedua berkaitan dengan adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk memulakan projek ini? Kerajaan Negeri sentiasa bersedia terbuka kepada mana-mana pihak pemaju untuk memohon kawasan-kawasan sama ada yang telah dibatalkan ataupun kawasan-kawasan yang lain yang boleh memberi manfaat kepada rakyat. Sekian, terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, soalan tambahan.

Yang pertama, er… masalah pembayaran 10% deposit money antara masalah besar yang dihadapi oleh generasi muda. Jadi, adakah usaha ataupun inisiatif pihak kerajaan bagi menyelesaikan perkara yang tersebut?

Yang keduanya, Dato’ Sri Yang di-Pertua, adakah pihak kerajaan bercadang meneruskan projek-projek yang murni itu di seluruh daerah-daerah negeri Pahang ini? Terima kasih.

Terima kasih Sungai Lembing.

Soalan yang pertama berkaitan dengan apa ni… bayaran 10% perumahan PRIMA Pahang dan juga Rumah Makmur yang di bawah Kerajaan Negeri adalah dibiayai oleh pihak bank oleh pada mereka yang layak yang tidak terikat dengan Kerajaan Negeri. Bayaran 10% itu adalah er… antara pihak apa ni bank atau pemaju dengan pihak pembeli. Jadi kita cuma boleh facilitate lah.

Berkaitan yang kedua, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat bagi mereka yang berpendapatan rendah untuk kita bantu. Contohnya saya ingat saya boleh sebutlah di sini Rumah Rakyat Pahang. Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri amat prihatin dan kita telah bagi sebanyak 98 unit rumah seluruh Pahang. Ini adalah satu kaedah cara yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu mereka yang layak yang ada tanah tetapi tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Itu kita bantu dengan memberi rumah secara percuma kepada mereka yang layak.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita selesai membincangkan 10 pertanyaan-pertanyaan. Saya bercadang untuk menempoh persidangan pada pagi ini untuk minum pagi dan persidangan disambung semula pada pukul 11.00 pagi. Saya mohon Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan bergerak keluar dalam keadaan tertib dan mematuhi penjarakan fizikal.

[Persidangan ditempohkan pada 10.32 pagi]

Rang Undang-UndangBill

Setiausaha Dewan

Perkara Kelima: Rang Undang-undang.

Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan (2021) 2020 Kertas DN12/2020 Belanjawan Negeri Pahang 2021 Kertas DN19/2020. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.

Saya memohon mengemukakan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan (2021/2020).

Yang Berhomat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya memohon izin menyokong cadangan tersebut.

Setiausaha Dewan

Suatu Enakmen bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu.

Yang Berhomat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya mohon Rang Undang-undang tersebut dibaca bagi kali yang kedua pada hari ini juga.

Yang Berhomat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya memohon izin menyokong cadangan itu.

Setiausaha Dewan

Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan (2021) 2020 dibaca bagi kali yang kedua.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat dengan ini sukacita saya menjemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyampaikan ucapan Belanjawan Negeri Pahang 2021. Dipersilakan.

Yang Berhomat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan;

“Suatu Enakmen bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan Tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu.”

UCAPAN BAJET

Assalamualaikum WBT, salam sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah inayah-Nya kita dapat hadir ke Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 yang bermula pada 16 November 2020. Pada sidang kali ini, insya-Allah saya akan membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur bagi Tahun 2021 yang bertemakan Kemakmuran Negeri Manfaat Bersama.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Dalam Belanjawan 2021, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah RM322.54 bilion, di mana RM236.5 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus sementara RM69 bilion adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan serta peruntukan RM17 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19. Manakala peruntukan untuk Simpanan Luar Jangka berjumlah RM2 bilion. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan kerana dapat menyediakan Belanjawan untuk kepentingan rakyat.

Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan beberapa projek. Antara projek yang berimpak tinggi ialah:

 Pelaksanaan Projek Central Spine Road di jajaran baharu di negeri Pahang dengan peruntukan berjumlah RM383.5 juta.  Peruntukan RM45 juta bagi memenuhi keperluan Pembekalan Air bagi sektor Petrokimia yang tertumpu di Zon Perindustrian Gebeng.  Pelaksanaan inisiatif Pas Perjalanan Tanpa Had My30 akan diteruskan dan diperluaskan ke Bandar Kuantan dan Pulau Pinang dengan peruntukan keseluruhan RM300 juta. Inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas dan rel kendalian Kumpulan Prasarana dengan harga RM30.00 sebulan. Seterusnya,  Pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti secara berfasa ke Kuantan dan beberapa ibu negeri lain dengan peruntukan keseluruhan RM150 juta.  Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had dengan harga RM5.00 untuk pelajar sekolah Tahun 1 hingga Tingkatan 6 serta golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Untuk negeri Pahang, mereka boleh menggunakan pas ini bagi perkhidmatan kereta api antara bandar Kuala Lipis dan Tumpat dengan tambangnya hanyalah RM5.00 sebulan berbanding sebelum ini secara purata RM5.00 sehari. Seterusnya  Projek Jalan Pintasan Bagi Mengatasi Kesesakan Cameron Highlands.  Ada juga terdapat penambahan peruntukan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup ataupun TAHAP kepada semua Kerajaan Negeri daripada RM350 juta kepada RM400 juta; dan,  Kenaikan had kelayakan penggunaan dana di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia ataupun MARRIS sehingga 20% atau RM50 juta.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, Kerajaan Pusat telah mengumumkan perkongsian 50% hasil kutipan bagi Cukai Pelancongan yang akan diterima sebagai hasil kepada Kerajaan Negeri. Alhamdulillah, negeri Pahang telah menerima cukai ini sebanyak RM7.86 juta pada tahun 2019 dan RM7.8 juta pada tahun 2020.

Walau bagaimanapun, pada tahun ini sektor pelancongan turut menghadapi kesan secara langsung akibat pandemik COVID-19. Negeri Pahang dianggarkan kehilangan hampir 1.05 juta pelancong setiap bulan, mulai Mac 2020 sehingga Oktober 2020. Data ketibaan pelancong bagi tempoh Januari sehingga Jun 2020 adalah seramai 2.7 juta orang sahaja berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 seramai 6.3 juta orang.

Untuk makluman, Geran Hitung Kepala merupakan salah satu pemberian oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah menerima sebanyak RM25.2 juta bagi pemberian tersebut. Justeru, Kerajaan Negeri amat berbesar hati sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan peningkatan pemberian geran tersebut pada tahun hadapan.

Kerajaan Negeri juga telah menyelaraskan permohonan projek pembangunan sebanyak 1,160 projek yang bernilai RM55.67 bilion dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Senarai projek ini merangkumi projek Public Funding Initiative ataupun PFI yang bernilai RM20.67 bilion. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyelaraskan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 yang melibatkan peruntukan negeri bagi tempoh lima tahun mulai 2021 hingga 2025 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2.53 bilion.

Kerajaan Negeri lagi sekali mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang diberikan pada tahun 2020. Semoga kerjasama ini berterusan seiring dengan usaha untuk membangunkan ekonomi negeri dan kemakmuran rakyat.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Sepertimana kita semua sedia maklum, seluruh dunia termasuk negara kita sedang berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19 yang nampaknya semakin membimbangkan semua pihak. Pandemik ini telah mewujudkan krisis kepada ekonomi dunia. Sepanjang tempoh ini, negara kita telah mengalami beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac 2020 sehingga kini. Kerajaan Negeri Pahang amat prihatin dengan situasi yang berlaku pada masa ini yang mengakibatkan sebilangan rakyat terjejas sumber pendapatan sekali gus memberi kesan kepada kehidupan seharian.

Bagi menzahirkan keprihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri telah melancarkan pelbagai inisiatif melalui beberapa fasa untuk membantu rakyat di negeri Pahang meringankan beban mereka.

Terdapat 22 inisiatif yang telah diperuntukkan bagi fasa pertama sehingga fasa kelima. Keseluruhan peruntukan bernilai RM20.27 juta. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM16.081 juta. Antara inisiatif utama yang dilaksanakan adalah:

 Pertama, bantuan tunai kepada golongan peniaga, penjaja dan pemandu teksi yang terjejas seramai 17,935 orang. Jumlah keseluruhan peruntukan ialah RM3.58 juta.

 Kedua, bantuan tunai kepada pemain industri pelancongan, usahawan mikro e-hailing, veteran tentera, bekas polis, anggota sukarelawan Rejimen 505 Askar Wataniah dan nelayan tidak berlesen yang berjumlah RM1.8 juta.  Ketiga, bantuan tunai sebanyak RM150.00 dan barangan makanan bernilai RM50.00 kepada 23,720 penerima oleh pemimpin masyarakat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan serta kawasan yang terjejas sumber pendapatan. Jumlah keseluruhan peruntukan ialah RM4.744 juta.  Keempat, bantuan tunai sejumlah RM200.00 kepada 3,060 pelajar yang terkandas. Jumlah peruntukan adalah RM612,000.00.  Kelima, sumbangan wang tunai RM100.00 dan barangan keperluan bernilai RM50.00 kepada 3,975 masyarakat Orang Asli melibatkan jumlah keseluruhan RM596,000.00  Keenam, peruntukan sebanyak RM4.7 juta kepada frontliners sepanjang tugasan menangani COVID-19.  Ketujuh, memberi insentif khas kepada 98 orang petugas COVID-19 dari hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan di negeri Pahang yang ditugaskan ke negeri Sabah sebanyak RM500.00 seorang yang melibatkan jumlah RM49,000.00 kepada frontliners sepanjang tugas menangani COVID-19. Semoga inisiatif ini dapat membantu rakyat dalam kalangan pelbagai kaum, usia dan kerjaya yang terjejas sepanjang tempoh PKP. Semoga inisiatif ini juga dapat membantu rakyat dalam kalangan pelbagai kaum, usia dan kerjaya terjejas.

Alhamdulillah, selaku Pentadbir Negeri, Kerajaan Negeri Pahang telah membuat pengagihan secara bersasar merentasi semua kluster yang terkesan dengan pandemik ini mengikut kemampuan kewangan kita. Bidalan orang tua-tua, “berbelanja jangan sampai boros, berjimat jangan sampai kedekut”.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya musibah yang sedang melanda negara kita khususnya di negeri Pahang dapat diatasi dengan kerjasama semua rakyat melalui pematuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya mohon izin untuk menjemput Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad untuk bacaan doa. Bagi mereka yang bukan beragama Islam bolehlah bertafakur.

[Bahasa Arab]

Kami di dalam perhimpunan, di dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pahang pada ketika ini bersama kepimpinan kami menadah tangan kami yang hina dengan rendah hati dan tawaduk khusyuk kepada-Mu Ya Allah semoga engkau angkatilah segala wabak dan penyakit yang sedang engkau ujikan kepada kami ketika ini Ya Allah.

Ya Allah, kami juga merayu kepada-Mu seandainya ujian ini engkau timpakan kepada kami di atas kesilapan dan kesalahan kami, kami memohon kepada-Mu engkau tukarkanlah segala kesilapan dengan keampunan rahmat-Mu jua Ya Allah.

Ya Allah, engkau berikan segala kebaikan kepada negara kami dan negeri kami Pahang Darul Makmur, diberikan kebaikan dunia dan akhirat, dijauhkan segala penularan wabak COVID-19 dan dilimpahkan segala inayah-Mu [Ayat al-Quran]

Ya Allah, kami berhimpun di saat ini tidak ada lain dan tidak ada bukan melainkan memikul amanah yang telah engkau berikan kepada kami dan kami berusaha sedaya mungkin supaya negara kami dan negeri kami Pahang Darul Makmur dilimpahkan inayah [Ayat al-Quran].

Ya Allah, kepada-Mu kami berserah dan kepada-Mu juga kami berharap dan kepada-Mu kami kembali. Tidak ada lagi tempat untuk kami merayu dan berharap melainkan kepada-Mu. Maka peliharalah negeri kami dan tanah air ini dengan sebaik-baik pemeliharaan dan sebaik-baik penjagaan daripada pandangan-Mu Ya Allah. [Bahasa Arab]

Terima kasih Yang Berhormat Exco Agama dan Pendidikan yang juga merupakan ADUN Kerdau.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kita kena terus berdoa kerana sehingga kini, tak silap saya 14 hari berturut-turut kita 0 kes COVID-19 di negeri Pahang. Insya-Allah.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Walaupun kita sekarang sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, saya amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana kedudukan kewangan negeri terus berada dalam keadaan yang baik.

Sehingga 13 November 2020, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM730.26 juta berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM744 juta iaitu pencapaian sebanyak 98.15%. Manakala Perbelanjaan Kerajaan Negeri pula adalah RM560.78 juta iaitu bersamaan 75.64%. Berdasarkan kadar kutipan hasil semasa, saya yakin kita mampu mencapai kutipan hasil melebihi 100% menjelang penghujung bulan Disember 2020. Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan dan seterusnya menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri tidak kukuh. Kerajaan Negeri bukan sahaja mampu membayar gaji tanpa gagal bahkan mampu memberikan bonus kepada semua kakitangan kerajaan di negeri Pahang.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga mempunyai pelaburan deposit dalam institusi kewangan bernilai RM250 juta pada tahun 2020. Jumlah ini adalah jumlah yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Negeri.

Terima kasih diucapkan kepada semua penjawat awam negeri Pahang yang telah bekerja keras meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.

Hasil yang diperolehi pada tahun 2020 oleh Kerajaan Negeri, selain diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus kepada jabatan-jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan

Negeri Pahang, ia juga diberikan semula dalam bentuk sumbangan kepada agensi-agensi Kerajaan Negeri seperti berikut:

 Pihak Berkuasa Tempatan sebanyak RM4.9 juta  Perbadanan Muzium Negeri Pahang sebanyak RM4 juta,  Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) sebanyak RM8.2 juta,  Pahang Skills Development Centre (PSDC) sebanyak RM300,000.00.  Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebanyak RM831,000.00.  Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang sebanyak RM6.4 juta; dan  Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) sebanyak RM2.26 juta.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan berikut kepada rakyat di negeri Pahang:

 Sumbangan COVID-19 - RM20.27 juta.  Bantuan Malapetaka - RM2 juta.  Sumbangan Dana Khas iaitu (sumbangan kepada rakyat yang memerlukan) - RM32.21 juta.  Tabung Perumahan Rakyat Pahang - RM12.9 juta.  Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung - RM7 juta.  Peruntukan Khas kepada Ahli Dewan Negeri termasuk Ahli Dewan Negeri dari pembangkang RM19.7 juta. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2021 akan menyediakan peruntukan berjumlah RM795.466 juta bagi Perbelanjaan Mengurus yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, Perbelanjaan Lain dan Aset. Anggaran Perbelanjaan Mengurus untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak RM55.573 juta atau 7.5% berbanding tahun 2020.

Manakala bagi Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan adalah sebanyak RM201.915 juta. Ia akan melibatkan projek infrastruktur sejumlah RM109.415 juta dan pembiayaan secara langsung, manakala RM92.5 juta adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air. Projek ini akan menyumbang sebanyak 45% daripada keseluruhan peruntukan projek pembangunan. Ini menunjukkan komitmen yang tinggi oleh Kerajaan Negeri dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dari segi bekalan air.

Secara keseluruhan, anggaran Perbelanjaan Pembangunan untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak RM81.165 juta atau 67% berbanding tahun 2020.

Belanjawan tahun 2021 ini adalah belanjawan yang telah mengambil kira semua aspek dan cabaran dalam menghadapi COVID-19. Belanjawan Tahun 2021 turut memberi tumpuan kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan Perbelanjaan Pembangunan.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri dijangka mengutip hasil sebanyak RM800.798 juta iaitu peningkatan sebanyak RM56.775 juta atau 7.6% berbanding anggaran tahun

2020. Kutipan hasil tahun 2021 dijangka diperolehi daripada hasil tanah sebanyak RM452.285 juta, hasil perhutanan sebanyak RM165.495 juta, hasil air sebanyak RM15.250 juta, Kerajaan… Geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM94.2 juta dan lain-lain hasil sebanyak RM73.568 juta. Kutipan hasil negeri dijangka akan mengalami peningkatan melalui pelaksanaan yang lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil tanah.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2021 menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak RM800.798 juta, manakala Perbelanjaan Mengurus pula dijangka sebanyak RM795.466 juta, dengan lebihan sebanyak RM5.332 juta. Walau bagaimanapun, bagi jumlah sebenar adalah bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada tahun 2021.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Tahun 2021 merupakan lembaran baharu bagi RMK-12 untuk memacu negeri Pahang ke arah negeri yang berdaya maju seiring dengan cabaran ekonomi semasa khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Menurut… menurut Laporan Sosio-ekonomi Negeri Pahang 2019, ekonomi Malaysia pada tahun 2019 telah menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar ataupun KDNK sebanyak 4.3% berbanding 4.8% pada tahun sebelumnya. Ia merekodkan nilai KDNK pada harga semasa berjumlah RM1.51 trilion dan pada harga malar RM1.42 trilion. Dari sudut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu pertumbuhan nilai tambah negara walaupun menunjukkan prestasi yang lebih sederhana pada tahun 2019.

Pada tahun 2019, pelaburan di negeri Pahang mencatatkan sejumlah RM9.25 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM5 bilion ialah pelaburan domestik manakala RM4.25 bilion merupakan pelaburan asing. Antara 3 syarikat utama yang terlibat dalam pelaburan ini ialah Jianhui Paper Kuantan Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Gebeng daerah Kuantan, ND Paper Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Bentong daerah Bentong dan Malaysia Newsprint Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Temerloh daerah Temerloh. Sejumlah 5,781 peluang pekerjaan telah diwujudkan kepada rakyat negeri Pahang.

Pada tahun 2019, Sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan dengan kadar 6.2% manakala, Sektor Pertanian telah merekodkan pertumbuhan pada kadar yang lebih baik iaitu 3.5%. Sektor Pembuatan telah mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana iaitu sebanyak 4.7%. Walau bagaimanapun, Sektor Pembinaan di Pahang masih kekal mencatatkan pertumbuhan -28.2%. Seterusnya, Sektor Perlombongan dan Pengkuarian mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik pada kadar 4.2% berbanding pertumbuhan -5.5% yang direkodkan pada tahun 2018.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri akan sentiasa menitikberatkan keseimbangan di antara keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat selaras dengan tagline “MajuTerus Pahang” dan “Pahang 1st”. Pada masa yang sama juga, tumpuan Kerajaan Negeri adalah bukan sekadar memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi sahaja, tetapi juga akan memberi keutamaan kepada keupayaan Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat dapat mengekalkan pendapatan dan meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan negara dilanda COVID-19 ini. Belanjawan 2021 masih kekal untuk memberi… memberi fokus kepada 3 strategi utama:

Pertama : Melonjak ekonomi ke arah negeri berdikari. Kedua : Memperkasa perkhidmatan dan modal insan. Ketiga : Mensejahterakan kehidupan rakyat.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri telah menetapkan kutipan hasil tanah sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator pada tahun ini dengan sasaran hasil tanah ditetapkan sebanyak 95% dan sasaran bagi kutipan tunggakan cukai adalah sebanyak 80%.

Sasaran kutipan hasil tanah bagi negeri Pahang untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM452.285 juta. Kutipan ini termasuk bayaran premium tanah, permit, denda, rampasan dan sebagainya.

Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang telah ditubuhkan pada 15 Oktober 2019 lebih memberikan tumpuan berterusan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan Negeri. Sebagai contohnya, Operasi Penguatkuasaan Perundangan Tanah di Kampung Pamah Lebar, daerah Raub melibatkan kawasan seluas 198.53 ekar telah berjaya mengekang kerugian hasil Kerajaan Negeri yang dianggarkan berjumlah RM3.15 juta.

Manakala Operasi Penguatkuasaan di Kampung Kundang, daerah Pekan yang melibatkan keluasan tanah seluas 500 ekar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang berjaya mengekang ketirisan kutipan hasil Kerajaan Negeri yang dianggarkan bernilai RM3 juta. Sehingga ke hari ini, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah berjaya menyita 20 buah jentera yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta di atas pelbagai kesalahan. Jumlah kompaun dan denda yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2019 dan 2020 adalah bernilai RM627 ribu dan 43 kes telah dibawa ke mahkamah untuk tindakan pendakwaan.

Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang turut memainkan peranan penting dalam menjaga khazanah alam negeri Pahang untuk manfaat segenap rakyat. Tindakan penguatkuasaan Ops Lestari 2 di Sungai Ichat, daerah Cameron Highlands seluas 230 ekar telah berjaya mengembalikan kejernihan dan kualiti air Sungai Ichat sebagai sumber simpanan bekalan air kepada penduduk di Cameron Highlands. ADUN Tanah Rata, senyumlah sikit. Operasi mencegah lombong haram di daerah Lipis telah berjaya memastikan bekalan sumber air penduduk terjaga dan hutan-hutan simpan kekal tidak diceroboh dengan sewenang-wenangnya.

Bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan penguatkuasaan, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang selaku wakil Kerajaan Negeri telah berkolaborasi dengan Agensi Angkasa Malaysia ataupun MYSA bagi membangunkan sistem pemantauan menggunakan data-data satelit. Penggunaan sistem ini memberikan anjakan kepada kemampuan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dan agensi-agensi lain bagi menganalisis dan memantau aktiviti guna tanah di seluruh negeri Pahang tanpa melibatkan sebarang kos.

Pewujudan unit-unit baharu seperti Unit Ketirisan Hasil dan Unit Pasukan Khas pada tahun 2019 telah menunjukkan kesan yang sangat positif. Sebanyak RM231,000.00 tunggakan pinjaman ternakan dan sejumlah RM148,000.00 tunggakan sewa Taman Kekal Pengeluaran Makanan telah berjaya dikutip.

Prestasi yang cemerlang turut dicatatkan oleh Unit Pasukan Khas apabila berjaya mengutip RM31 juta tunggakan hasil tanah dengan komitmen yang jitu daripada

semua Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Pahang. Syabas saya ucapkan kepada mereka. [Ahli Dewan menepuk meja]

Selain itu, pengoperasian Pahang Corporation Sdn. Bhd. pada tahun 2020 dijangka dapat menyumbangkan hasil kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM4.4 juta pada tahun 2021. Ia sesuai dengan matlamat penubuhannya yang bertanggungjawab mengkaji cadangan-cadangan pelaburan dari aspek pulangan serta risiko-risiko perniagaan dan memantau pelaksanaan aktiviti perniagaan yang diceburi oleh Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Pewujudan Pahang Water dan Energy Resources Sdn. Bhd. dijangka bakal menyumbang sebanyak RM2 juta kepada Kerajaan Negeri mulai tahun 2021. Selain memberikan pulangan hasil kepada Kerajaan Negeri, ia juga membantu pengurusan sumber air mentah sedia ada agar pembekalan air mentah sentiasa mencukupi daripada segi kuantiti dan kualiti.

Negeri Pahang adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber mineral dengan anggaran rizab mineral melebihi daripada RM125 bilion. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah konsortium bagi menguruskan aktiviti pengeluaran sumber mineral di negeri Pahang iaitu Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd. ataupun PMC yang akan menjadi pusat sehenti bagi merancang, mengurus dan memantau aktiviti perlombongan di negeri Pahang. PMC turut menjadi pemegang lesen mineral tunggal bagi semua aktiviti mencari gali, penjelajahan dan perlombongan. Ia dijangka dapat menyumbang RM50 juta kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2021.

Seterusnya, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk memberikan lesen kepada pelombong-pelombong kecil iaitu melalui Skim Pelombong Kecil.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Pelan Perindustrian dan Pembangunan Negeri Pahang 2020 sehingga 2025 telah diwujudkan untuk mengenal pasti hala tuju pembangunan perindustrian menjadikan negeri Pahang sebagai sebuah negeri maju dan kompetitif menjelang tahun 2025. Lima sektor utama yang terlibat adalah pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan. Ia menumpukan kepada industri ringan, sederhana, berat dan berteknologi tinggi serta industri masa hadapan. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM200,000.00 untuk tujuan pelan ini.

Majlis Perindustrian Negeri Pahang akan diwujudkan pada tahun 2021 bagi membincangkan isu-isu dan hala tuju perindustrian. Tujuan penubuhan Majlis Perindustrian Negeri Pahang ini adalah untuk menyeragamkan, menyelaras dan membantu semua pemain industri dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam Pelan Perindustrian dan Pembangunan Negeri Pahang 2020 sehingga 2025. Ia akan melibatkan Pengerusi Jawatankuasa yang berkaitan dengan perladangan, pelancongan, pertanian, infrastruktur dan belia serta semua Pegawai Daerah, Ketua Jabatan yang berkaitan dengan pemain-pemain industri.

Kerajaan Negeri Pahang sedang dalam perancangan bagi mewujudkan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus. Wilayah Pahang Barat Plus merangkumi daerah Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Raub, Bentong dan Bera. Plus ini adalah merujuk kepada daerah Bera. Tujuan Majlis ini ditubuhkan adalah untuk memantau pelaksanaan Pelan Pembangunan Ekonomi Pahang Barat yang akan menjadi hala tuju kepada perancangan pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus. Ini adalah kerana pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus jauh ketinggalan jika dibandingkan pembangunan di Wilayah Pantai Timur khususnya daerah Kuantan.

Selain dari itu, terdapat tiga kawasan taman perindustrian yang akan diberikan tumpuan iaitu Tanjung Agas Maritime Park, Gambang Halal Park dan Pahang Technology Park. Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang bersama-sama dengan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur sedang giat melakukan promosi melalui lawatan, forum dan trade missions untuk menarik pelabur tempatan dan pelabur asing untuk melabur di kawasan perindustrian yang terlibat.

Dalam usaha memperkasakan usahawan di negeri Pahang, Kerajaan Negeri akan membangunkan Pelan Pembangunan Industri Kecil Sederhana Negeri Pahang yang bertujuan untuk memperkukuhkan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana, serta membantu sektor perusahaan mikro di negeri ini selain untuk membina kapasiti dan keupayaan sesebuah perusahaan dalam meningkatkan lagi skala perniagaan hingga ke pasaran antarabangsa.

Melalui usaha ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan medium pemasaran secara dalam talian untuk usahawan dagang di samping menganjurkan Kursus e-dagang bagi SME melalui kerjasama dengan syarikat milik Kerajaan Negeri. Pelan ini juga akan menyediakan skim latihan bagi graduan baharu dan usahawan sedia ada yang merupakan anak kelahiran Pahang supaya dapat memajukan aktiviti sosio-ekonomi rakyat dan menyediakan peluang pekerjaan.

Bagi tujuan pembangunan usahawan ini, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sejumlah RM7.6 juta dalam Rancagan Malaysia Ke-12.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2020 bagi 16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020 meliputi setiap daerah di negeri Pahang.

Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan projek-projek pelancongan kepada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM49.25 juta.

Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, hotel dan resort di negeri Pahang menerima 3,000 tempahan bilik penginapan susulan kebenaran rentas negeri. Sehubungan itu, bagi membantu semula ekonomi sektor pelancongan, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan bantuan rebate ataupun kupon dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM50,000.00 melalui aplikasi PahangGo. Kupon ini boleh digunakan di hotel-hotel terpilih yang dikenal pasti.

Tourism Pahang turut memainkan peranan melalui pelaksanaan pelbagai program pelancongan secara individu atau webinar. Antara strategi Tourism Pahang, Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia pada tahun 2021 adalah:

 Pertama, memperhebatkan promosi tanah tinggi, Taman Negara dan Tioman.  Kedua, meningkatkan penggunaan platform digital; dan  Ketiga, mengambil bahagian dalam platform promosi terkini seperti Virtual Travel Fair bersama dengan penggiat-penggiat industri.

Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta kepada Tourism Pahang untuk mempergiatkan usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri Pahang pada tahun 2021.

Jabatan Pertanian Negeri Pahang akan meneruskan tumpuan untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa, tanaman kontan, herba, rempah ratus serta komoditi berpotensi dan bernilai tinggi melalui penyaluran insentif pengembangan teknologi dalam bentuk benih, bahan input serta kemudahan infrastruktur ladang untuk peningkatan produktiviti tanaman.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, mohon izin untuk minum air.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Sehingga akhir tahun 2019, sebanyak 619,000 tan metrik hasil pertanian dengan nilai RM2.29 bilion telah dikeluarkan oleh negeri Pahang. Pengeluaran bahan makanan sehingga Ogos 2020 telah mencapai 259,000 tan metrik dengan nilai RM1.66 bilion dan dijangka meningkat kepada 620,000 tan dengan nilai RM2.48 bilion sehingga akhir 2020. Sehingga akhir 2021, peningkatan pengeluaran dianggarkan mencapai 631,000 tan metrik dengan nilai RM2.5 bilion.

Kerajaan Negeri dengan ini akan memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta pada tahun 2021 untuk memantapkan lagi sektor pertanian. Peningkatan peruntukan sebanyak RM0.5 juta atau 10% daripada tahun 2020 diharap dapat menggalakkan lebih ramai penglibatan anggota masyarakat dalam pembangunan pertanian dan membantu lebih ramai golongan muda dan B40 menerima insentif teknologi pertanian untuk menjana sumber pendapatan. Contohnya melalui Program Tanaman Keliling Rumah, insentif berupa benih dan bahan input pertanian akan disalurkan kepada individu dan juga komuniti setempat dan dijangkakan seramai 1,000 orang akan mendapat manfaat daripada program ini pada tahun 2021.

Kerajaan Negeri juga memberi penekanan kepada pengekalan amalan pertanian yang baik yang menjurus penglibatan lebih ramai petani memperolehi sijil myGAP dan myOrganic. Ketetapan ini untuk pengeluaran bahan makanan yang lebih berkualiti dan berorientasikan eksport. Sehingga akhir tahun 2019, terdapat 597 ladang dengan keluasan 5,910 hektar telah memperolehi sijil myGAP dan dijangkakan angka ini akan melonjak kepada 800 ladang menjelang akhir tahun 2021.

Bagi menambah pengetahuan dan peningkatan kemahiran para petani, sebanyak 414 latihan dirancang untuk diadakan sepanjang tahun 2021 dengan penglibatan seramai 8,280 orang petani di seluruh negeri Pahang.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Asas pengurusan hutan di negeri Pahang telah bermula dengan memperuntukkan hutan-hutan simpan kekal yang menjadi khazanah negara diwartakan bertujuan untuk memastikan perlindungan dan pemeliharaan kawasan tersebut. Tanah yang telah dianggap sebagai Hutan Simpan Kekal adalah tertakluk di bawah pengurusan hutan secara berkekalan atau Sustainable Forest Management (SFM).

Sehingga kini, atas kerjasama yang baik dan komited di antara jabatan-jabatan dan agensi-agensi di negeri Pahang, telah memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam pemeliharaan sumber hutan negara untuk kesejahteraan masyarakat masa kini dan akan datang. Ini jelas terbukti dengan jumlah hutan di negeri Pahang sehingga Jun 2020 adalah seluas 2.05 juta hektar atau 57% daripada keluasan tanah negeri seluas 3.59 juta hektar. Daripada jumlah ini, seluas 1.55 juta hektar atau 43% merupakan Hutan Simpan Kekal manakala 399.7 ribu hektar atau 11% adalah Taman

Negara/Suaka Hidupan Liar dan Burung serta selebihnya 86.9 ribu hektar atau 2% adalah Tanah Kerajaan Berhutan.

Sesungguhnya negeri Pahang harus berbangga kerana berupaya mengekalkan khazanah hijau ini dengan begitu luas iaitu melebihi 50% daripada keluasan tanah negeri. Melalui usaha ini, ianya dapat memberikan manfaat jangka panjang seperti pengekalan kawasan tadahan air yang turut dirasai oleh negeri-negeri yang bersempadan dengan negeri Pahang seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan untuk aktiviti memulihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan untuk memastikan pengekalan dan penggunaannya secara terus dan terancang. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah berset… bersetuju memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta untuk tujuan pembangunan, penguatkuasaan dan termasuklah memasukkan cip ke pokok-pokok bagi tujuan pemuliharaan hutan di negeri Pahang.

Di samping itu juga, Kerajaan Negeri akan mewartakan beberapa kawasan sebagai Taman di negeri Pahang. Antaranya ialah Lubuk Yu di daerah Maran. [Ahli dewan menepuk meja] Kawasan ADUN Kuala Sentul, Exco Wanita. Sektor ini akan terus menjadi salah satu penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri dengan jangkaan sasaran sejumlah RM165 juta bagi tahun 2021. Kutipan ini adalah daripada bayaran premium, royalti dan caj-caj lain.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah melaksanakan 11 Operasi Bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang. Secara keseluruhannya sehingga kini, hasil lelongan kayu rampasan adalah bernilai RM3.14 juta manakala kompaun dan ganti rugi bernilai RM5.18 juta telah berjaya diperolehi.

Seterusnya, melalui Rancangan Malaysia Ke-12, pelbagai projek pembangunan dan aktiviti perhutanan juga telah dirancang dengan anggaran peruntukan sebanyak RM35.5 juta.

Tahun 2020 adalah tahun yang mencabar kerana COVID-19 telah melanda seluruh dunia. Negeri Pahang turut merasai kesan daripada penularan wabak tersebut dari segi sektor ekonomi. Sekatan pergerakan jelas sekali menyebabkan bilangan pelabur berkurang di semua negeri termasuklah di negeri Pahang.

Bagi tahun 2019, negeri Pahang telah menerima pelaburan melalui Malaysian Investment Development Authority (MIDA) sebanyak RM4.9 bilion melibatkan 34 buah projek. RM3.9 bilion merupakan daripada pelaburan asing dan RM1 bilion daripada pelaburan tempatan. Sebanyak 3,319 peluang pekerjaan telah disediakan.

Manakala bagi tahun 2020 sehingga Jun, negeri Pahang telah menerima pelaburan sebanyak RM1.3 bilion dimana RM61 juta merupakan daripada pelaburan asing dan selebihnya daripada pelaburan tempatan. Tiga syarikat utama yang terlibat dalam pelaburan ini ialah Ayuga Agarwood Hitec Plantation Sdn. Bhd. di daerah Bentong, BRB Malaysia Sdn. Bhd. di Gebeng, daerah Kuantan dan Lotus KFM Berhad di Pelabuhan Kuantan, daerah Kuantan. Projek ini telah menyediakan kira-kira 715 peluang pekerjaan.

Jumlah pelaburan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) pada tahun 2019 mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.1 bilion di negeri Pahang yang menjana sekurang-kurangnya 3,469 peluang pekerjaan. Manakala pada

tahun 2020, jumlah pelaburan yang telah dicatatkan adalah sebanyak RM1.6 bilion yang menjana sebanyak 1,542 peluang pekerjaan.

Dari bulan November 2019 sehingga kini, melalui Unit Antarabangsa, Kerajaan Negeri Pahang telah menerima 49 permohonan pelabur asing dari Singapura, Thailand, China, Eropah, Timur Tengah dan Korea. Antara 49 permohonan itu, 19 syarikat pelabur asing telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman ataupun MOU dan dua syarikat telah menandatangani Memorandum Perjanjian Bersama ataupun MOA bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang yang bernilai keseluruhan RM910 juta.

Bagi tujuan menyokong pelaburan di negeri Pahang, Pelabuhan Kuantan kini sedang berusaha untuk merealisasikan beberapa program pembangunan fizikal untuk kemudahan perdagang… perdagangan dan industri. Pada tahun 2021, Lembaga Pelabuhan Kuantan mensasarkan dua projek pembangunan utama yang sedang diusahakan pada tahun 2020 iaitu pembinaan dua buah dermaga kimia cecair yang baharu serta pembangunan Hab Logistik Maritim untuk industri minyak dan gas di dalam kawasan New Deep Water Terminal Pelabuhan Kuantan seperti pembinaan jeti baharu sepanjang 350 meter, wharf hard standing area, gudang berbumbung serta tangki simpanan air dan minyak.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin, kerajaan amat memberi penekanan terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri Pahang dalam usaha untuk memenuh ekspektasi serta meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dengan menaik taraf infrastruktur pentadbiran Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah mengumumkan tentang beberapa penubuhan unit dan agensi di bawah seliaan Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Unit Antarabangsa, Unit Ketirisan Hasil, Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd., Pahang Water dan Energy Resources Sdn. Bhd., Unit Pembangunan Wanita dan PahangGo. Semua penubuhan organisasi ini telah memberikan impak yang positif pada tahun 2020 dalam memantapkan lagi tadbir urus perkhidmatan kepada rakyat di samping menyumbangkan tambahan hasil kepada Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri seterusnya pada tahun 2021 akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk pengukuhan Pentadbiran Tioman dan penguatkuasaan kawalan 23 pulau di bawah gugusan Pulau Tioman. [Ahli dewan menepuk meja]

Kerajaan Negeri juga dalam kajian penstrukturan semula struktur organisasi Jabatan Agama Islam Pahang. Penstrukturan ini akan melibatkan dua daerah dan sebanyak empat buah Pejabat Agama Islam Daerah iaitu Kuantan, Maran, Jengka dan Chenor. Bagi daerah Kuantan, akan diwujudkan tambahan satu Pejabat Agama Islam Daerah baru di Mukim Kuala Kuantan 2 dan mengekalkan Pejabat Agama Islam Daerah sedia ada di Bandar Kuantan. Manakala bagi daerah Maran, akan kekal dua Pejabat Agama Islam Daerah iaitu Pejabat Agama Islam Daerah Maran dan Jengka.

Penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan secara langsung terhadap kemajuan pelaksanaan pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah ataupun PPSAS. Pelaksanaan projek ini telah diberhentikan buat sementara waktu bermula 18 Mac 2020 sepanjang tempoh PKP. Walau bagaimanapun, projek kini sedang giat dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan. Sehingga Oktober 2020, kemajuan sebenar projek ini adalah sebanyak 53.5%.

Kerajaan Negeri komited untuk memastikan pembinaan PPSAS dapat disiapkan pada tahun 2021 supaya perkhidmatan yang lebih berkesan dapat diberikan kepada pelanggan dengan suasana kerja yang lebih kondusif.

Selain itu, bagi memastikan PPSAS menjadi antara bangunan kerajaan yang terunggul, Kerajaan Negeri akan memastikan infra telekomunikasi untuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan selular teknologi 4G yang menyeluruh di dalam dan luar PPSAS. Infra telekomunikasi juga perlu ke arah ketersediaan untuk sasaran menjadi bangunan kerajaan yang pertama mempunyai akses teknologi 5G.

Pada tahun 2020, bagi menyokong penyampaian perkhidmatan, sebanyak RM360,000.00 telah diperuntukkan bagi penggantian insfrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di jabatan-jabatan kerajaan meliputi server, komputer dan juga pencetak yang digunakan bagi pengoperasian sistem-sistem online di kaunter.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM220,000.00 bagi penyelenggaraan ICT di ruang pejabat Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang serta RM71,000.00 bagi kerja- kerja penyelenggaraan dan peralatan ICT serta sambungan rangkaian luaran ataupun UNIFI di Pejabat Pentadbiran Pulau Tioman.

Justeru, pada tahun 2021, sejumlah RM7.9 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri iaitu peningkatan sebanyak RM3.48 juta berbanding tahun 2020 bagi pembangunan teknologi maklumat kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan awam secara berterusan.

Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang telah membangunkan Pelan Strategik Yayasan Pahang dengan Kumpulan 2020 sehingga 2028. Anggaran peruntukan perbelanjaan tahun 2021 bagi bantuan pendidikan dan kebajikan, program pendidikan serta bantuan kemasyarakatan adalah sebanyak RM65 juta merangkumi pendidikan berjumlah RM51 juta, komuniti berjumlah RM13 juta dan ekonomi sebanyak RM1 juta.

Antara sasaran Yayasan Pahang pada tahun 2021 ialah:  Pertama, ranking ke-3 dan ke atas peringkat Kebangsaan dalam pencapaian Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.  Kedua, 80% anak yatim melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).  Ketiga, 95% boleh membaca seawal Tahun 1.  Keempat, 10% masyarakat Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT; dan  RM20 juta setahun kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan Yayasan Pahang. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM129.26 juta bagi Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan untuk Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada tahun 2021. Peruntukan ini merangkumi pembelian kenderaan kepada sekolah-sekolah dan masjid sebanyak 16 buah yang melibatkan RM1.92 juta, pembinaan dewan serbaguna dan bangunan akademik di Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku Kuala Lipis, menaik taraf bangunan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang termasuk Pejabat Agama Islam Daerah dan asrama sekolah-sekolah yang keseluruhannya berjumlah RM9.6 juta.

Selain peruntukan Kerajaan Negeri, Jabatan Agama Islam Pahang juga menerima peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi peruntukan elaun guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM30.9 juta setahun dan peruntukan bagi bayaran elaun imam kariah sebanyak RM9.8 juta setahun.

Jabatan Agama Islam Pahang mensasarkan untuk melaksanakan penambahbaikan sistem perkhidmatan kepada rakyat antaranya adalah:

 Mewujudkan direktori Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam (wali hakim) Negeri Pahang dalam Sistem e-Munakahat sedia ada bagi membantu memudahkan masyarakat dalam membuat urusan terutamanya proses perkahwinan.  Mewujudkan perkhidmatan rundingcara (khidmat nasihat) atas talian dalam menyelesaikan sesuatu aduan yang diterima dengan mengambil masa yang seminima mungkin. Kaedah ini juga dilihat dapat membantu meningkatkan peratusan aduan yang berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Perbadanan Muzium Negeri Pahang bukan sahaja sekadar mengurus bagi mengekalkan muzium yang sedia ada, tetapi telah melakukan perubahan, perkembangan, perancangan dan aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat Pahang khususnya dan Malaysia amnya.

Bagi tahun 2020, Perbadanan Muzium Negeri Pahang telah menaik taraf Muzium Seni Pahang dan bangunan bekas pejabat Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (Pelancongan Pahang) di Kuantan kepada Kompleks Muzium Negeri Sultan Haji Ahmad Shah. Walaupun Belanjawan 2020 Perbadanan Muzium Negeri Pahang meningkat, tetapi hasil dari pengeluaran belanjawan ini akan memberi pulangan yang setimpal kepada pembangunan Negeri Pahang.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Pahang akan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi mengurus dan mentadbir Perbadanan Muzium Negeri Pahang termasuk projek menaik taraf muzium-muzium dan kajian pembangunan artifak.

Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang bertindak sebagai agensi peneraju dalam memacu perkhidmatan perpustakaan dan maklumat sekali gus memastikan Khazanah Warisan Intelek Negeri terpelihara. Perpustakaan amat komited menyediakan perkhidmatan terkini khususnya dalam mengiringi Revolusi lndustri Keempat (IR 4.0), Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence) dan Data Raya (Big Data).

Di samping menyediakan perkhidmatan perpustakaan secara konvensional, Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang tidak ketinggalan dalam arus ledakan penyampaian maklumat secara maya melalui perkhidmatan portal U-Pustaka yang berkolaborasi dengan perpustakaan negeri-negeri lain dan juga agensi kerajaan yang lain seperti Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM6.6 juta untuk membantu perpustakaan ke arah sebuah Pusat Kecemerlangan dan Pendigitalan Sumber Ilmu Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Negeri Pahang memiliki ramai atlet yang kini bergelar Olympian bermula dengan Saudara Amirul Hamizan Ibrahim (Acara Angkat Berat pada Olimpik Beijing 2008), Saudara Mohd Faizal Baharom (Acara Angkat Berat pada Olimpik London 2012), Saudari Michelle Koh (Acara Golf Wanita pada Olimpik Rio 2016) dan Saudari Nur Shazlin Mohamad Latif (Acara Sukan Pelayaran pada Olimpik Rio 2016). Turut mencatat sejarah adalah Saudara Mohd Syamil Mohd Saad (Acara Powerlifting pada Sukan Paralimpik Rio 2016).

Keberkesanan setiap program pembangunan sukan yang dilaksanakan adalah terletak kepada pengukuran pencapaian atlet-atlet negeri ini di kejohanan-kejohanan yang disertai termasuklah Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang merupakan sukan bertaraf kebangsaan yang paling prestij di negara ini. Seterusnya atlet-atlet yang menunjukkan kecemerlangan di dalam sukan masing-masing akan dinilai bagi melayakkan diri mewakili negara ke kejohanan-kejohanan yang bertaraf antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan KOMANWEL, Sukan ASIA dan Sukan OLIMPIK.

Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta yang merangkumi perbelanjaan mengurus dan penyelenggaraan di Majlis Sukan Pahang termasuk kerja-kerja kawalan keselamatan dan pembaikan bagi meningkatkan perkhidmatan infrastruktur dan pengurusan. Semoga dengan peruntukan pembangunan ini dapat memberi keselesaan kepada pihak pengurusan dan atlet-atlet dalam menjalani latihan.

Terdapat beberapa program telah berjaya dilaksanakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara maya iaitu Kejohanan MyESports: MyStay@HomeChallenge Peringkat Negeri Pahang yang telah menarik ramai penyertaan belia-belia Negeri Pahang. Program ini telah dilaksanakan di bawah Bahagian Pembangunan Sukan dengan kerjasama e-Sports Malaysia Pahang.

Kerajaan Negeri turut berbangga dengan pencapaian Cik Nurliana Mohammad yang telah dianugerahkan sebagai Tokoh Belia Negara 2020. Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sebanyak RM10,000.00 kepada beliau. Semoga ia dapat menyuntik semangat kepada belia-belia di luar sana yang merupakan tulang belakang negara.

Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf orang-orang muda sebagai pelapis generasi masa hadapan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menyediakan satu Dana Khas sebanyak RM10 juta yang boleh dijadikan sebagai bantuan awal dan pengembangan perniagaan khususnya untuk golongan anak-anak muda negeri Pahang untuk melibatkan diri dalam sektor perniagaan. Lima syarikat GLC dan pihak Majlis Daerah akan dilibatkan untuk melaksanakan program ini.

Selain itu juga, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan pembangunan Belia Negeri Pahang sebanyak RM470,000.00 untuk diagihkan kepada Majlis Belia Negeri Pahang, 11 Majlis Belia Daerah dan 15 Badan Gabungan bagi memastikan pembangunan belia secara komprehensif dapat dilaksanakan.

Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan kursus-kursus kemahiran untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing pada masa hadapan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan peranan Badan Bukan Kerajaan yang saling bekerjasama atas semangat sukarelawan seperti Squad Bencana Pahang yang membantu Kerajaan Negeri dalam menghadapi musibah.

Kerajaan Negeri juga menyedari bahawa Gerakan Koperasi memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi rakyat negeri Pahang terutamanya golongan bumiputera. Pada tahun 2020 Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sejumlah RM1 juta kepada Gerakan koperasi di negeri Pahang. Kerajaan Negeri akan terus mewujudkan Gerakan Koperasi di negeri Pahang demi mewujudkan kemakmuran bersama untuk dinikmati oleh rakyat dan setiap peringkat lapisan masyarakat.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12.

Saya ulang Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu sejumlah RM0.91 bilion telah dibelanjakan bagi melaksanakan 355 projek di negeri Pahang, iaitu 42.83% daripada siling yang telah diperuntukkan. Prestasi ini boleh dibanggakan kerana prestasi nasional ialah 44.84%.

Diharapkan pelaksanaan projek-projek di negeri Pahang akan berjalan dengan lancar dan apabila siap kelak akan memberikan manfaat kepada rakyat negeri Pahang. Kerajaan Negeri sentiasa menekankan aspek integriti dan urus tadbir yang baik yang perlu diamalkan bagi menjayakan semua perancangan dan dasar negara.

Sehingga 7 September 2020, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM66.1 juta bagi melaksanakan 2,457 projek ataupun program di negeri Pahang meliputi pelbagai peruntukan seperti Peruntukan Khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Ahli Parlimen, Yang Berhormat Senator, Yang Berhormat Timbalan Menteri, Yang Berhormat ADUN, Projek Sambungan, Projek Kecil Persekutuan, Kementerian Kewangan, Projek Mesra Rakyat dan Projek di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Penyaluran peruntukan-peruntukan ini bertujuan menambah dan melengkapkan lagi pelaksanaan program dan projek Rancangan Malaysia Lima (5) Tahun (RMLT), merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat dan juga sebagai wadah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat.

Pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri disalurkan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM10 juta bagi Projek Rangsangan Ekonomi. Sebanyak 228 projek di seluruh daerah di negeri Pahang dapat dibangunkan. Sehingga kini kemajuan projek telah mencapai 98% siap. Sedikit sebanyak peruntukan yang disalurkan ini dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

Pembangunan sebuah negeri bergantung kepada jaringan kemudahan jalan raya yang sempurna bagi menjadi penghubung ekonomi mahupun sosial. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang disalurkan bagi penyenggaraan jalan negeri yang berjumlah RM298 juta pada tahun 2020. Kita diberikan khabar gembira dengan pengumuman penambahan sejumlah RM50 juta untuk semua negeri bagi tahun 2021. Ini akan membolehkan semua rakyat di negeri Pahang secara tidak langsung akan dapat merasai manfaat ini.

Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas kerjasama yang erat dan lancar di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam

bersama-sama menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang terbaik kepada rakyat negeri Pahang.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Secara keseluruhannya negeri Pahang telah mencapai 98% kawasan liputan bekalan air di mana 100% bagi kawasan bandar telah pun mendapat bekalan air bersih manakala kawasan luar bandar 98%.

Bagi tahun 2021, pelaksanaan projek pembinaan sebuah loji rawatan air dan tangki air di Kuantan dijangka akan dimulakan bagi memenuhi keperluan bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng dengan anggaran kos projek keseluruhan RM619 juta.

Di antara projek yang sedang giat dilaksanakan adalah membina tangki imbangan di Kawasan Perindustrian Gebeng berjumlah RM173 juta, membina dan menyiapkan loji air di Semambu berjumlah RM446 juta dan projek pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Kawasan Perindustrian Gebeng berjumlah RM115 juta. Selain itu, terdapat juga projek untuk mengatasi kekeruhan di Loji Rawatan Air di Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau, daerah Raub berjumlah RM18 juta.

Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan pembiayaan secara pinjaman bagi pelaksanaan Projek Paip Agihan dari Kemaman ke Gebeng bagi memenuhi permintaan bekalan air daripada pemain-pemain industri di Kawasan Perindustrian Gebeng dan Malaysia-China Kuantan Industry Park ataupun (MCKIP). Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sebuah kerajaan yang mesra perniagaan dan komited menjadikan Kawasan Perindustrian Gebeng dan MCKIP sebagai kawasan perindustrian berteknologi tinggi.

Dalam usaha untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri terus memberikan komitmen untuk melaksanakan program bekalan air yang telah dirancang. Pada tahun 2020, sebanyak RM35.2 juta peruntukan telah disediakan bagi menyiapkan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air baharu serta menaik taraf sistem sedia ada. Manakala pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM92.5 juta iaitu peningkatan sebanyak RM57.3 juta bagi tujuan perbekalan air negeri Pahang.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Pahang Berhad ataupun PAIP akan meneruskan perlaksanaan projek-projek yang telah dirancang di bawah program Rancangan Malaysia Ke-12 yang mana sebahagian besarnya adalah merupakan projek-projek sambungan yang telah mula dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11. Projek-projek tersebut melibatkan pembinaan loji rawatan air, pembinaan tangki simpanan dan pemasangan paip yang telah pun siap dan digunakan oleh pihak industri dan pengguna domestik.

Kerajaan Negeri juga sedang dalam fasa terakhir untuk memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri Pahang dengan Kerajaan Persekutuan dan dijangkakan perjanjian berkenaan akan termeterai sebelum 31 Disember 2020. Melalui penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Pahang, pinjaman bekalan air luar bandar yang bernilai RM1 bilion Kerajaan Negeri akan dihapus kira dan baki pinjaman bekalan air akan diinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri kini berpuas hati dengan prestasi PAIP ataupun Perbadanan Air Pahang yang telah boleh berdikari berdasarkan kedudukan kewangan syarikat yang stabil dan kukuh. Kerajaan Negeri tidak perlu lagi menyalurkan bantuan geran secara tahunan kepada pihak PAIP untuk tujuan pengoperasian mereka. Sehingga 31 Oktober 2020, PAIP telah memperolehi keuntungan kasar sebanyak RM23.5 juta dan dijangka meningkat kepada RM32 juta pada tahun 2021.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Agenda perumahan mampu milik akan terus menjadi agenda utama Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang bagi penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat Negeri Pahang.

Projek PRIMA Pahang dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan syarikat pemaju perumahan. Kerajaan Negeri memberikan tanah kerajaan dengan bayaran premium yang sangat minimum iaitu RM2,000.00 bagi setiap lot rumah. Dengan kos tanah yang sangat minimum ini, Kerajaan Negeri mampu menetapkan harga jualan rumah PRIMA Pahang yang berkeluasan binaan rumah 1,000 kaki persegi pada harga hanya RM150,000.00 sahaja. Malahan bagi penjawat awam, diberikan potongan 10% menjadikan harga rumah tersebut hanya RM135,000.00. Inilah komitmen dan iltizam Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah yang benar-benar mampu milik kepada rakyat negeri Pahang. Sasaran bagi tahun 2021, PRIMA Pahang dijangka akan dibangunkan sebanyak 1,000 unit.

Manakala Program Rumah Makmur dilaksanakan sebagai penambahbaikan kepada program PRIMA Pahang sedia ada. Golongan sasar adalah kepada mereka yang berpendapatan RM5,000.00 ke bawah satu isi rumah. Sehingga kini, sebanyak 16 projek telah diluluskan dengan jumlah rumah sebanyak 4,222 unit. Pada tahun 2020, sebanyak 5 projek telah memulakan kerja pembinaan iaitu 3 projek di Lipis, 1 projek di Kuantan dan 1 projek di Maran. Harga rumah bagi Rumah Makmur ini ialah sebanyak RM80,000.00 sahaja.

Kerajaan Negeri seterusnya tampil dengan inisiatif mewujudkan Tabung Perumahan Rakyat Pahang. Sehingga Oktober 2020, jumlah kutipan terkumpul bagi Tabung Perumahan Rakyat Pahang adalah sebanyak RM12.9 juta berbanding sasaran sebanyak RM6 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020. Kutipan untuk tabung ini adalah daripada caruman oleh pemaju swasta sebanyak RM11.92 juta dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM980,000.00. Jumlah kutipan Tabung Perumahan Rakyat Pahang ini dijangka akan terus meningkat pada tahun 2021.

Melalui dana daripada tabung ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Projek Rumah Rakyat Pahang untuk membina rumah kepada golongan B40, miskin atau miskin tegar yang tersenarai dalam senarai e-Kasih, yang tidak memiliki rumah, atau rumah yang didiami terlalu uzur untuk dibaiki serta bantuan baik pulih rumah-rumah yang daif atau tidak selamat untuk diduduki. Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.3 juta bagi pembinaan 98 unit Projek Rumah Rakyat Pahang yang berkeluasan 750 kaki persegi dengan kos sebanyak RM60,000.00 dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak. Permohonan rumah ini dibuat melalui Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan masing-msing dan pemilihan diputuskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Bagi tahun 2021, program ini akan diteruskan dengan pembinaan 98 unit rumah lagi iaitu Rumah Rakyat Pahang. [Ahli Dewan menepuk meja].

Di samping itu, peruntukan bagi pembaikan sebuah rumah maksimum sebanyak RM10,000.00 turut diberikan bagi pembaikan rumah rakyat yang memerlukan dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Penubuhan Unit Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang pada tahun 2019 telah memberi banyak impak positif dalam pengurusan dan pembangunan masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang sepanjang tahun 2020. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.1 juta untuk tujuan pengurusan dan pembangunan masyarakat Orang Asli.

Fokus utama unit ini pada tahun 2021 adalah untuk memperkemaskan solusi bagi isu-isu tanah Orang Asli dan memberi fokus kepada pembangunan belia dan kepimpinan masyarakat Orang Asli.

Kerajaan Negeri dalam perancangan untuk penubuhan Perbadanan Orang Asli Negeri Pahang. Fungsi Perbadanan Orang Asli Pahang adalah sebagai badan yang bertanggungjawab menyediakan pelan induk pengurusan dan pembangunan ekonomi secara lebih terancang untuk masyarakat Orang Asli Negeri Pahang. Perbadanan Orang Asli Pahang dijangka mampu memberi impak positif kepada kelancaran proses pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli Negeri Pahang dan akan bertindak mengurus ekonomi Orang Asli secara lebih berstrategi, sistematik dan holistik. Perbadanan Orang Asli Pahang juga akan diberi hak untuk menguruskan pembangunan projek ekonomi untuk tanah-tanah Orang Asli yang telah diwartakan.

Kerajaan Negeri sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa jua bencana yang melanda, sama ada bencana semula jadi mahupun kejadian yang tidak diingini. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM3 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang, di bawah kawalan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang mulai tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak RM1 juta atau 50% berbanding tahun 2020.

Peka dengan keadaan ekonomi rakyat Pahang, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Kuantan, telah melonggarkan syarat kepada peniaga dengan memberikan kebenaran melaksanakan aktiviti perniagaan di mana-mana lokasi yang bersesuaian. Sebanyak 1,210 permit harian perniagaan telah dikeluarkan oleh MPK sejak bulan Julai 2020. Usaha ini membolehkan golongan B40 yang terkesan akibat pandemik berupaya meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri juga berhasrat akan memperluaskan insentif ini kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri Pahang.

Tidak dilupakan, peranan wanita yang menjadi tulang belakang kemajuan negeri Pahang, tanpa mereka maka pincanglah struktur sesebuah pentadbiran. Ini adalah kerana wanita kini adalah wanita yang bergerak bersama-sama seiring dengan alaf baharu. Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM772,000.00 untuk pembangunan wanita.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri amat berbangga kerana seorang kanak-kanak perempuan kelahiran negeri Pahang telah terpilih untuk menerima Anugerah Pingat Hang Tuah yang merupakan satu anugerah pengiktirafan keberanian luar biasa kanak-kanak di Malaysia. Beliau adalah adik Nuraina Erieka Binti Abdullah berumur 13 tahun yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah menunjukkan keberanian luar biasa menyelamatkan nyawa adiknya yang berusia 3 bulan dalam

kebakaran di rumah sewa di Flat Taman Anggerik, Jalan Berserah Kuantan. Ini telah membuktikan peranan wanita telah bermula daripada awal usia lagi. Sekalung tahniah diucapkan kepada adik Nuraina Erieka atas penganugerahan ini dan sebagai menghargai pengorbanan beliau, Kerajaan Negeri Pahang turut berbesar hati menganugerahkan beliau sebagai Tokoh Srikandi Kanak-Kanak Negeri Pahang 2020 dan menerima hadiah sebanyak RM2,000.00. [Ahli Dewan menepuk meja].

Selain itu juga, pada 4 September yang lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah menyerahkan sebuah rumah kepada Majlis Pembangunan Wanita Pahang yang bernilai RM1.2 juta untuk dijadikan Pusat Menangani Krisis Wanita yang menyediakan perlindungan sementara kepada wanita-wanita yang terlibat dalam keganasan rumah tangga, penderaan mental, fizikal dan sebagainya. Berdasarkan rekod, jumlah keganasan rumah tangga yang dilaporkan di negeri ini sehingga Oktober 2020 ialah sebanyak 57 kes yang meliputi kes perintah perlindungan, khidmat kaunselor, khidmat nasihat dan rujukan dari hospital.

Menyedari hakikat pentingnya golongan wanita, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta melalui Program Cakna Suri iaitu Ujian Mamogram secara percuma kepada 6,000 wanita di seluruh negeri Pahang pada tahun 2021. Jikalau Yang Berhormat tak berapa faham ataupun tak berapa tahu ujian Mamogram, boleh tanya Yang Berhormat daripada Pulau Tawar, apa itu ujian Mamogram [ketawa] Sebabnya dalam EXCO itu, ada kawan-kawan tanya, apa dia Mamogram ini? Jadi Yang Berhormat Pulau Tawar dia tak bercakap, dia tunjuk dengan tanda tangan jer. Untuk lebih detail, bila sidang Dewan tangguh, boleh tanya Yang Berhormat…apa dia ujian Mamogram. Kalau tanya Yang Berhormat Kuala Sentul, dia tak akan bercakap. [ketawa]

Peserta adalah berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan bermula awal tahun hadapan di klinik-klinik yang dipilih. Semoga sedikit sebanyak ianya dapat membantu pengesanan awal kanser payudara yang sering dihadapi oleh wanita kini.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan jalan yang terbaik bagi membantu rakyat lebih-lebih lagi yang terkesan daripada cabaran pandemik ini. Dari rakyat kita perolehi, kepada rakyat juga kita memberi. Dengan ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan lebihan hasil yang berjumlah RM5 juta kepada Akaun Amanah Bencana Negeri Pahang untuk digunakan bagi tujuan mengekang wabak dan juga membantu mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Di kesempatan ini juga, Kerajaan Negeri ingin mengucapkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan semua pihak dalam sama-sama membantu menghadapi saat-saat getir sebegini. Ini dibuktikan dengan komitmen caruman yang telah dibuat secara sukarela oleh 4,589 kakitangan Kerajaan Negeri Pahang melalui pemotongan gaji bermula bulan April sehingga September 2020. Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM573,000.00.

Bahkan mulai bulan November, Disember tahun 2020 serta Januari tahun 2021 semua rakan-rakan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membuat potongan gaji pokok sebanyak 10% untuk disumbangkan dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Pahang.

Di Dewan ini juga saya menyeru agar semua Ahli Dewan Negeri termasuk pembangkang untuk turut membuat potongan 10% gaji pokok bagi disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Pahang.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata, yang telah memberi kerjasama yang baik, sehingga membolehkan kerajaan berfungsi sewajarnya. Sepertimana kita punya... apa ni… kita punya tagline kita, yang kita promotekan ‘Kita Jaga Kita’. ‘Kita Jaga Kita’ dan ianya amat sesuai untuk kita hayati bersama. Tidak ada niat untuk saya menujukan kepada mana-mana Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan ini. ‘’Kita Jaga Kita’ ya.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, ini tentunya menepati kehendak agama seperti Firman Allah Subhanahu ata’ala dalam Surah An-Nisa’, Ayat 59 yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman. Taati Allah, taati Rasul dan para pemimpin dalam kalangan kamu”.

Dan hubungan ini pula hendaklah berlangsung dalam apa juga keadaan sepertimana pula Hadith Nabi S.A.W, riwayat Muslim yang bermaksud; “Kamu wajib patuh dan setia sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka dan walaupun merugikan kepentinganmu”.

Dan sesungguhnya, hubungan rakyat dengan kerajaan mestilah yang sentiasa bersifat dua hala; kewajipan kerajaan ke atas rakyat ialah berlaku saksama dan memelihara hak-hak serta kebajikan mereka, manakala rakyat pula wajib memberikan kerjasama baik dalam sama-sama membangunkan negara dan mentaati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para penjawat awam sama ada penjawat awam negeri ataupun persekutuan. Sebagai pentadbir dan pelaksana, peranan penjawat awam sangatlah ditagih dan dihargai dalam memastikan apa juga dasar dan projek yang dirangkakan oleh Kerajaan Negeri, dapat diterjemah dan dilaksanakan dengan jaya dan berkesan serta menepati matlamat dan sasaran.

Penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sehinggalah kepada entiti seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia atau RELA telah menunjukkan prestasi cemerlang, bersama-sama Kerajaan Negeri Pahang membendung jangkitan COVID-19 ini. Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen yang diberikan. Jasa dan pengorbanan tuan-tuan sangatlah kami hargai.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, dan sudah tentulah saya perlu ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, serta juga rakan-rakan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, yang sama-sama berganding bahu bagi mengemudi dan menjayakan apa juga perancangan oleh Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kemuncak kepada segalanya ialah persembahan ucapan setinggi-tinggi junjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Patik doakan moga-moga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayah, sihat walafiat; agar pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terus-menerus terzahir dengan kata-kata keramat - ‘Raja Rakyat, Sehati Sejiwa; Raja Rakyat, Berpisah Tiada’.

Ampun Tuanku.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat dalam menghadapi cabaran situasi kini. Kerajaan Negeri juga sedaya boleh meneruskan perjuangan bagi memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat di negeri Pahang terjaga. Oleh itu, Kerajaan Negeri amat berbesar hati ingin mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang pada tahun 2021 kepada rakyat Negeri Pahang.

 Pertama, bagi menjaga kebajikan golongan Warga Emas yang berumur 80 tahun ke atas. Sumbangan secara one-off sebanyak RM250.00 seorang melibatkan seramai 2,054 orang dengan peruntukan berjumlah RM513,500.00.  Kedua, membantu Orang Kelainan Upaya ataupun OKU, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM8,493,250.00 kepada 33,973 penerima secara one-off dengan kadar RM250.00 seorang.  Bagi 3,014 penerima Bantuan Am Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kerajaan Negeri akan menaikkan kadar bantuan am ini dari RM300.00 sebulan kepada RM350.00 sebulan yang menjadikan keseluruhan peruntukan tambahan adalah sebanyak RM1,808,400.00 setahun.  Keempat, bagi menghargai bakti Imam-imam Kariah, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM750.00 seorang kepada seramai 1,032 Imam diseluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM774,000.00.  Selain itu, tidak dilupakan juga jasa Bilal dan Siak, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM250.00 seorang yang melibatkan seramai 888 Bilal dan 889 Siak seluruh negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM448,250.00.  Yang Keenam, bagi tujuan memberi semangat kepada seramai 24 ribu pelajar-pelajar Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan yang bakal memasuki alam persekolahan Darjah 1 pada tahun 2021. Sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan iaitu pemberian secara one-off RM100.00 kepada setiap murid.  Seterusnya, tidak dilupakan juga kepada 543 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), 62 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKB) dan 70 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) yang telah banyak menyumbangkan bakti di peringkat akar umbi. Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan sejumlah RM250.00 secara one-off kepada setiap Pengerusi dengan jumlah peruntukan RM168,750.00.

 Tidak sekadar itu, untuk meringankan kos sara hidup kumpulan B40, sumbangan secara one-off sebanyak RM250.00 diperuntukkan kepada setiap peserta e-Kasih miskin tegar seramai 1,594 orang. Ia akan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM398,500.00.  Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM840 ribu setahun untuk Elaun Tambahan Guru Al-Quran dan Fardhu Ain Asrama kepada 350 orang pada kadar RM200.00 seorang mulai tahun 2021. Elaun ini akan meningkat daripada RM800.00 kepada RM1,000.00 sebulan.  Kerajaan Negeri juga prihatin kepada Institusi Maahad Tahfiz yang ada di negeri Pahang. Oleh itu, Maahad Tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) akan menerima peruntukan berjumlah RM1 juta secara keseluruhan untuk diagihkan kepada 89 buah Maahad Tahfiz.  Seramai 301 orang Tok Batin akan turut menerima sumbangan secara one-off bernilai RM250.00 seorang yang berjumlah RM75,250.00.  Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian sebanyak RM200.00 kepada pasangan yang berkahwin buat kali pertama pada tahun hadapan. Iaitu, ini adalah yang telah kita setuju pada tahun 2020 dan akan diteruskan untuk tahun 2021. Bagi kahwin kali pertama Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua. Yang kedua tanggung sendiri.  Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM10,000.00 untuk setiap 52 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti untuk memberikan latihan dan pemulihan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU). Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM520,000.00 .Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penjawat awam yang bertungkus-lumus membantu memberikan perkhidmatan yang terbaik, meskipun dalam keadaan yang sukar biarpun kadangkala mereka menerima kritikan tetapi ianya langsung tidak melemahkan diri untuk mencurahkan bakti khususnya di negeri Pahang.

“Pokok tidak akan mampu berdiri utuh tanpa akar yang kuat mencengkam bumi, biarpun angin, taufan, ribut melanda, tetap mampu berdiri teguh mendongak ke langit”. Begitulah simboliknya kepentingan penjawat awam kepada negeri Pahang.

Dengan rasa penuh syukur Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000.00 kepada semua kakitangan kerajaan tanpa pengecualian gred, kerana setiap inci kejayaan yang kita rasai hari ini adalah hasil usaha padu kita semua. Seramai 8,000 penjawat awam akan menerima manfaat tersebut dan pembayaran dibuat sebelum 16 Januari 2021. Jumlah peruntukan untuk Bayaran Khas Kewangan ini adalah sebanyak RM8 juta.

Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini bertambah berbanding dengan tahun lepas yang berjumlah RM750.00 dan insya-Allah, pada tahun yang mendatang, sekiranya prestasi kewangan negeri bertambah kukuh, tidak mustahil Kerajaan Negeri akan memberikan Bantuan Kewangan Khas yang lebih tinggi daripada tahun ini.

Tidak dilupakan juga kepada Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain di sekolah dan asrama, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan secara one-off berjumlah RM300.00 kepada 2,978 guru yang terlibat. Jumlah peruntukan Bantuan Khas Kewangan adalah sebanyak RM893,400.00.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Harapan Kerajaan Negeri agar kita sentiasa ingat seperti mana kata orang tua-tua ‘Jika berbelanja janganlah sampai boros, dan jika berjimat janganlah sampai kedekut’.

Buah kerdas buah genuak, Dalam hutan tumbuh meliar, Usah risau usahlah cuak, Nasib rakyat takkan terbiar.

Dalam hutan tumbuh meliar, Sukar dikesan oleh ruminan, Nasib rakyat takkan terbiar, Belanjawan Negeri ialah jaminan.

Sukar dikesan oleh ruminan, Khasiatnya tinggi sudah tertera, Belanjawan Negeri ialah jaminan, Negeri makmur rakyat sejahtera.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya dengan ini membentangkan Belanjawan 2021 dan saya mohon mendapat sokongan semua, Insya-Allah. Saya mohon mencadangkan. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Ahli Dewan menepuk meja].

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon izin menyokong cadangan ini. [Ahli Dewan menepuk meja].

Yang di-Pertua (Speaker)

Tahniah Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Rang Undang-undang ini telah dicadang dan disokong untuk dibaca bagi kali yang kedua. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian sebelum perkara ini dibuka bagi dibahaskan sukacita saya menarik perhatian Yang Berhormat sekalian kepada peraturan 66 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negeri Pahang bahawa perbahasan mengenai Rang Undang-undang ini mestilah ditangguhkan sekurang-kurangnya satu jam. Oleh itu perbahasan atas Rang Undang-undang ini akan dimulakan pada hari Selasa 17 November 2020 dan akan dibahaskan bersekali dengan usul Anggaran Pembangunan dan Perbekalan Air 2021 yang akan dibentangkan sebentar lagi. Sekarang mesyuarat beralih kepada aturan urusan mesyuarat selanjutnya.

USUL

UsulMotion

Setiausaha Dewan

Perkara keenam: Usul.

Usul Anggaran Pembangunan dan Perbekalan Air 2021. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya mohon izin untuk membawa satu usul di Dewan yang mulia ini yang berbunyi bahawa Dewan ini mengikut peruntukan Seksyen 9 Akta Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan mengikut ketetapan yang menubuhkan Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Perbekalan Air dengan ini bersetuju meluluskan anggaran perbelanjaan bagi tahun 2021 daripada Kumpulan Wang-kumpulan wang tersebut sebagaimana yang dibentangkan dalam persidangan ini sebagai kertas Dewan Negeri 19/2020.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya berharap agar usul yang saya bentangkan ini akan mendapat sokongan dan kelulusan Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya mohon menyokong usul yang telah dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Saya akan menempohkan perbahasan usul ini untuk dibahaskan bersama-sama Rang Undang-undang Perbekalan (2021) 2020 pada hari selasa 17 November 2020. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat saya akan cuba memberi peluang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk berbahas pada hari esok dan kita akan cuba mengaturkan jadual perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat mengikut yang akan kita tetapkan nanti. Jika sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat tidak bersetuju ataupun tidak… nak berucap itu tidak ada masalah. Saya berharap penempohan yang diberikan ini akan dapat memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat meneliti kandungan ucapan Pembentangan Bajet 2021. Persidangan ditempohkan.

[Persidangan ditempohkan jam 12.36 tengah hari]