Pahang · 27 August 2026
15th Assembly, 5th session, 2nd meeting · 143 turns · 10,273 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari (Khamis) : 27 Ogos 2026
Bersamaan
: 14 Rabiulawal 1448 Hijrah
Bacaan Doa
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT. Marilah kita sama-sama memulakan mesyuarat kita pada pagi ini dengan membaca Ummul Kitab Al-Fatihah [bacaan dalam Bahasa Arab]. Segala puji bagi Allah dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, Makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon dianugerahkan taufik-Mu dipohonkan menyuluh memandu ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah dipohon doa kami diperkenan. Amin, Ya Rabbal A’lamin.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan syukur kepada Allah SWT dengan izin-Nya kita semua dapat menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang yang Kelima Belas pada pagi yang berbahagia ini. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita dapat berkumpul dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang yang Kelima Belas.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Persidangan kali ini agak berbeza kerana kita tidak melibatkan perbahasan titah Diraja mahupun pembentangan belanjawan negeri. Namun, amanah dan komitmen kita kepada rakyat tetap menjadi keutamaan. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional dengan atas kejayaan membentuk Kerajaan Negeri di dalam PRN Johor pada 11 Julai 2026 serta perkembangan di Negeri Sembilan yang menyaksikan kerjasama BN dan PN membentuk Kerajaan Negeri. Perkembangan ini menunjukkan bahawa Malaysia memerlukan transformasi politik yang lebih matang. Kita perlu meninggalkan pendekatan lama yang menganggap Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mesti sentiasa seiring dalam semua perkara. Perbezaan pandangan antara negeri dan pusat tidak semestinya membawa perpecahan, sebaliknya boleh menjadi pemangkin kepada kematangan demokrasi. Negeri Pahang wajar diberi ruang untuk menentukan dasar yang sesuai dengan keperluan setempat, manakala Kerajaan Pusat menyelaraskan perkara strategik yang menyentuh kepentingan nasional.
Dalam kerangka ini, Pahang berpotensi menjadi pelopor kepada kerajaan perpaduan yang inklusif dengan penyertaan pimpinan dari pelbagai parti politik terutama kita bukan persaingan ideologi tetapi penyatuan tenaga dan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
Ahli-ahli Yang Amat Berhormat sekalian,
Dewan juga telah telah dimaklumkan mengenai sokongan terbuka 2 Ahli Dewan Negeri daripada Bersatu iaitu ADUN Kuala Sentul dan ADUN Lepar kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.
Sokongan merentas parti ini mencerminkan politik yang mengutamakan kestabilan dan matlamat bersama. Ia mengukuhkan keyakinan bahawa Pahang mampu menjadi model kerajaan perpaduan dengan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri mengatasi garis kepartian.
Kestabilan politik akan membolehkan dasar dan projek pembangunan dilaksanakan dengan lebih lancar dengan tumpuan terus diberikan kepada ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita di atas kemangkatan Paduka Kekanda Baginda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Sri Setia Hajah Aishah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang telah mangkat pada jam 9.15 malam tadi di Kuala Lumpur. Kemangkatan Almarhumah merupakan satu kehilangan besar kepada kerabat diraja Pahang serta seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur.
Jenazah Almarhumah akan dibawa ke Pekan untuk disemadikan di Makam Diraja Pahang mengikut istiadat diraja. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat, diampuni segala dosa dan ditempatkan di dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.
Sehubungan dengan kemangkatan Almarhumah, sebagai tanda penghormatan serta bagi memberi laluan kepada urusan solat jenazah dan pengkebumian, Sidang Dewan Negeri pada hari ini akan ditamatkan lebih awal. Pada asasnya, saya bercadang untuk mengemukakan 2 soalan lisan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan setiap Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Namun, mengambil kira keadaan-keadaan serta sebagai tanda penghormatan kepada Almarhumah, saya akan mengemukakan hanya 1 soalan sahaja tanpa soalan tambahan atau mungkin kurang daripada itu.
Saya juga akan berusaha menyelesaikan urusan Dewan yang telah dijadualkan termasuk 2 Rang Undang-undang dan 1 Usul sebelum persidangan ditempohkan kira-kira jam 11.00 pagi. Langkah ini bagi membolehkan Ahli-ahli Yang Berhormat bersama-sama menunaikan solat Zuhur di Pekan, seterusnya menunaikan solat jenazah dan menghadiri urusan pengebumian Almarhumah selepas Zuhur. Semoga segala urusan pemakaman Almarhumah dipermudahkan oleh Allah SWT dan semoga roh Almarhumah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Baiklah, kita teruskan dengan aturan seterusnya.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Kelima Belas pada 8, 12, 13, 14 dan 15 Mei 2026 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Assalamualaikum WBT. Selamat pagi, salam sejahtera, salam Maju Terus Pahang. Salam Pahang 1st. Terima Kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Sebelum kita meneruskan aturan mesyuarat pada hari ini, izinkan saya mengambil kesempatan untuk lagi sekali bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Pahang untuk menzahirkan rasa dukacita di atas kemangkatan Paduka Kekanda Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. Almarhumah Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Sri Setia Hajah Aishah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada jam 9.15 malam tadi, 26 Ogos 2026 bersamaan 13 Rabiulawal 1448 Hijrah.
Sehubungan dengan itu, patik mewakili kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta seluruh rakyat jelata Negeri Pahang Darul Makmur dengan penuh takzim merafak sembah dan menzahirkan ucapan takziah ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang serta seluruh keluarga dan kerabat diraja Pahang. Patik dan seluruh rakyat jelata Negeri Pahang Darul Makmur turut sama berdukacita dan mendoakan agar Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta seluruh kerabat Diraja Pahang dikurniakan kekuatan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang penuh kesedihan ini. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh almarhumah mengampuni segala dosa menerima segala amal ibadah serta menempatkan almarhumah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal, beramal soleh.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker lagi sekali saya menjemput bagi yang beragama Islam untuk kita sedekahkan Al-Fatihah, manakala bagi yang bukan beragama Islam, saya mohon bertafakur sejenak Al-Fatihah [bacaan dalam Bahasa Arab].
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, saya mohon izin membawa cadangan bahawa Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Kelima Belas pada 8, 12, 13, 14 dan 15 Mei 2026 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Assalamualaikum WBT. Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, saya mohon izin menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar Pahang sebentar tadi.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Soalannya ialah,
“Satu cadangan bagi mengesahkan Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Kelima Belas pada 8, 12, 13, 14, 15 Mei 2026 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan,”
telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa apa pindaan Ahli-ahli yang bersetuju, sila nyatakan setuju. Ahli-ahli yang tidak bersetuju, sila nyatakan tidak. Tiada. Peringatan mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.
Perkara ketiga pertanyaan-pertanyaan kepada Menteri Besar.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum saya meneruskan aturan mesyuarat ini, saya sekali lagi ingin memaklumkan bahawa saya akan menghadkan pertanyaan lisan kepada beberapa er... kepada satu pertanyaan sahaja. Tiada pertanyaan untuk soalan tambahan. Bagi pertanyaan yang tidak terpilih dengan jawapan lisan, ianya akan tetap dijawab secara bertulis oleh pihak kerajaan. Seterusnya, saya tidak bercadang untuk menempoh persidangan sebelah pagi ini. Walau bagaimanapun, pihak Dewan Negeri ada menyediakan jamuan pagi di bilik rehat ADUN bagi Ahli-ahli Negeri, Dewan Negeri dan di kanopi bagi ketua-ketua jabatan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan secara bergilir-gilir dan kembali semula ke dalam Dewan. Baiklah. Saya menjemput Ahli Yang Berhormat daripada kawasan Chini. Bagi soalan pertama.
Sila
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT, Salam Pahang 1st. Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker saya kemukakan pertanyaan yang pertama.
[Apakah pencapaian utama Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun 2026 dari segi prestasi ekonomi, kutipan hasil negeri serta pelaksanaan agenda Pahang 1st, dan sejauh manakah pencapaian tersebut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat?]
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Terima kasih saya ucapkan kepada ADUN Chini yang bertanyakan soalan berkenaan dengan prestasi ekonomi kutipan hasil negeri serta pelaksanaan agenda Pahang 1st dan sejauh manakah pencapaian tersebut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Untuk makluman, Yang Berhormat daripada Chini, nilai keluaran dalam negara kasar dalam negeri kasar untuk negeri Pahang bagi tahun lepas meningkat daripada 68.8 bilion. Pada tahun 2024 kepada 71 billion pada tahun 2025. Manakala pelaburan komited berjumlah 11.47 bilion berbanding sasaran 16.2 bilion sehingga bulan Ogos 2026. Daripada jumlah ini, pelaburan direalisasikan yang direkodkan berjumlah 1.044 bilion.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, daripada segi hasilnya pula sehingga semalam, Kerajaan Negeri telah mencapai kutipan sebanyak 9.217 juta iaitu 72% [Ahli Dewan menepuk meja] daripada sasaran tahun 2026 sebanyak 1.279 bilion. Prestasi ini menunjukkan kedudukan kewangan negeri yang terus kukuh dan berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran hasil pada tahun 2026.
Manakala bagi pelaksanaan Agenda Pahang 1st telah berjaya menghasilkan impak yang signifikan terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat negeri Pahang melalui kejayaan-kejayaan seperti berikut. Yang pertama, prestasi keseluruhan yang cemerlang dalam peperiksaan awam negeri. Bagi kelulusan SPM 2025 Pahang muncul sebagai negeri kedua terbaik di peringkat kebangsaan dengan pencapaian [Ahli Dewan menepuk meja] Gred Purata Negeri 4.08 mata berbanding Gred Purata Kebangsaan 4.42 mata. Seramai 96.52% calon ataupun bersamaan dengan 16,822 calon layak mendapat sijil A dan 671 calon memperolehi memperolehi keputusan semua A atau straight A [Ahli Dewan menepuk meja].
Yang kedua, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik SPM di peringkat kebangsaan dengan Gred Purata Sekolah 0.60 mata. Manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang mencatat GPS 1.06 mata antara yang terbaik di peringkat nasional manakala Sekolah Menengah Agama Negeri turut mencatatkan Gred Purata Negeri 3.57 dengan kadar kelulusan 99.47%.
Manakala bagi pencapaian STPM tahun 2025 Pahang mencatatkan rekod purata nilai gred keseluruhan tertinggi iaitu 3.09 mata. Kolej Tingkatan 6, Astana Kuantan dan Kolej Tingkatan 6, Sri Lipis dinobatkan sebagai Kolej Tingkatan 6 Terbaik Kebangsaan manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Jerantut menerima Anugerah Pusat Tingkatan 6 Terbaik Kebangsaan [Ahli Dewan menepuk meja].
Manakala daripada segi hasil positif daripada indikator kesejahteraan meliputi. Yang pertama penoktahan miskin tegar dan memangkas kemiskinan sebanyak 30% setakat pertengahan tahun 2026. Kadar pengangguran pada suku kedua tahun 2026 sebanyak 2% jauh lebih rendah daripada kadar nasional sebanyak 3% dan Pahang merupakan negeri kedua terendah kadar pengangguran bersama Melaka selepas Putrajaya.
Lebih 300 ribu rakyat menerima manfaat bantuan-bantuan kerajaan negeri dan 2000 unit rumah rakyat Pahang percuma disediakan untuk golongan miskin tegar, selain penawaran rumah mampu milik bersubsidi tinggi kepada rakyat seperti PR1MA Pahang dan Rumah Makmur Pahang. Manakala pengukuhan perpaduan dan keharmonian masyarakat terbukti apabila negeri Pahang muncul sebagai negeri dengan tahap perpaduan tertinggi di Malaysia dalam Indeks Perpaduan Malaysia dengan skor 0.817 [Ahli Dewan menepuk meja]. Fokus kepada kesejahteraan bandar dan komuniti diketengahkan apabila dua bandar di Pahang iaitu bandar Lipis dan Raub dinobatkan sebagai antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia untuk tahun ini. Pahang Barat dua-dua ni memang bahagia. Yang Berhromat Dato’ Sri Speaker Temerloh ye.
Speaker Pahang Tengah.
Manakala daripada segi prestasi ekonomi dan sosial serta kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan Kerajaan Negeri terus menyalurkan manafaat secara langsung kepada rakyat di pelbagai lapisan masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Inisiatif Makmur Pahang bermula pada tahun pertama pelaksanaannya pada tahun 2024 sehingga 2026. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah keseluruhan sebanyak RM173.93 juta bagi pelaksanaan Indera Mahkota. Indera Mahkota pula. Er... Inisiatif Makmur Pahang dengan pecahan berikut. Untuk tahun 2024, 38.8 juta. Pada tahun 2025 Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Speaker kita naikkan kepada 50.54 juta, pada tahun 2026 84.59 juta. Insya-Allah pada tahun 2027 dalam pembentangan bajet nanti, kita akan naikkan lagi Bantuan Inisiatif Makmur ini kepada rakyat negeri Pahang.
Yang Berhormat daripada er... Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Apa yang saya perkatakan tadi saya mendapat sumber daripada Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri Pahang, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang, Unit Akademi Pahang 1st, Unit Perancangan Operasi dan Dasar Strategik. Mana-mana rakan-rakan ahli Yang Berhormat yang ingin mendapatkan lebih lanjut boleh merujuk kepada sumber yang saya katakan tadi. Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Speaker.
Seterusnya kita jemput soalan yang kedua ADUN daripada Beserah.
Assalamualaikum WBT. Terima kasih Dato’ Sri Speaker. Soalan saya nombor 2.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, sebenarnya saya terkejut tadi selalu daripada sana hari ni daripada sini.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dia begini. Dia jauh di mata dekat di hati. Tapi yang kita tak nak ianya dekat di mata, jauh di hati. Sila Yang Berhormat EXCO.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker.
ADUN Beserah menanyakan tentang projek tukun tiruan yang telah dilaksanakan dalam negeri Pahang yang mendapat kejayaan membantu nelayan tradisional untuk meningkatkan lagi hasil tangkapan ikan dan juga hasil tangkapan laut. Dan ADUN Beserah bertanyakan sama ada projek tersebut boleh dilaksanakan di perairan Beserah, Balok dan sekitarnya.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker.
Pada tahun 2025, Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah berjaya melabuhkan tukun tiruan di tiga kawasan iaitu Pulau Seri Bulat… Seri Buat dan Pulau Sembilang di daerah Rompin serta Pulau Berhala di daerah Pekan. Kos pembinaan dan melabuhkan tukun adalah sebanyak RM800,000.00 dari sumber peruntukan Kerajaan Persekutuan dan juga Ecological Fiscal Transfer (EFT). Manakala untuk tahun 2026, peruntukan sebanyak RM600.000.00 untuk membina dan melabuhkan tukun tiruan jenis juvenile penghalang pukat tunda di Pulau Seri Buat Rompin, sebagai tukun konservasi telah dilabuhkan dalam bulan Ogos baru-baru ini iaitu 19 Ogos. Peruntukan EFT yang diterima sebanyak RM300,000.00 bagi pembinaan tukun yang akan dilabuhkan pula di perairan Pantai Kempadang daerah Kuantan akan dilaksanakan pada penghujung Oktober… Oktober ni.
Yang Berhormat Speaker, saya terkejut tadi. [Ahli Dewan ketawa]. Bukan saja ADUN Beserah bertukar tempat, tapi saya terkejut tengok eh… rasanya macam kurus sikit Speaker ni, rupanya ada silap mata.
Jangan risau, Dato’ Sri…
Saya… saya…
… masih kekal… masih kekal.
Saya terkejut tadi tu. Ha… ha tengok. Manakala bagi cadangan tapak di Beserah dan Balok, er… sebenarnya menempatkan atau menetapkan di mana tukun tiruan ini hendak dilabuhkan kena mengambil kira faktor kawasan termasuk yang dinamakan sebagai kawasan batasan pelabuhan iaitu di Kuantan dipanggilkan batasan Pelabuhan Kuantan atau port limit dengan izin. Pantai Balok dan Pantai Beserah berada dalam julat latitude yang masih termasuk dalam had Pelabuhan Kuantan. Sekiranya tukun tiruan dilabuhkan di kawasan ini, ia perlu di luar kawasan tersebut yang terdedah kepada laluan pelayaran kapal masuk dan keluar Pelabuhan Kuantan dan keselamatan nelayan tradisional. Ianya memerlukan kajian terperinci bagi kawasan cadangan untuk dilabuhkan tukun tiruan konkrit yang akan dipantau kesesuaian tapak terlebih dahulu oleh pihak Institut Sumber Marin Asia Tenggara ataupun (ISMAT).
Antara asas pada kesesuaian sesuatu tapak tukun tiruan adalah seperti berikut. Pertamanya, melihat kepada jenis sedimen dasar laut di tapak tersebut, jarak daripada pantai, kedalaman air ketika pasang dan surut. Yang keempatnya jenis hidupan marin yang sedia ada di kawasan tersebut. Yang kelimanya kawasan tersebut adalah berdekatan dengan kawasan terumbu karang bebas dari laluan kabel dasar laut atau talian paip gas atau kawasan perlombongan pasir laut atau tapak buangan yang berdekatan dan juga yang genapnya luar dari laluan bot ataupun feri dan yang ketujuhnya di luar batas pelabuhan atau laluan utama perkapalan port limit tadi.
Sebab itu, cadangan daripada Jabatan Perikanan, supaya dapat melabuhkan tukun tiruan ini di kawasan yang berhampiran, maknanya bukan di Balok, bukan di Beserah, tetapi di kawasan Kuantan supaya nelayan-nelayan di kawasan Balok dan juga Beserah ini tadi dapat mencari ataupun menangkap ikan di kawasan daerah Kuantan ada tempatnya berdekatan. Jadi itu jawapan saya. Terima kasih.
Terima kasih Dato' Sri dari pihak Kerajaan. Seterusnya saya menjemput ADUN Tioman.
Yang Berhormat Speaker, mohon mengemukakan soalan nombor 4. Terima kasih.
[Apakah status terkini pelaksanaan projek pembinaan Masjid FELDA Selendang 2 dan Masjid Desa Selesa Perpat, serta bilakah kedua-dua masjid tersebut dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi untuk kegunaan masyarakat? Adakah sasaran menyiapkannya pada tahun ini atau tahun hadapan?]
Terima kasih Yang Berhormat er… Dato’ Sri Speaker.
Yang Berhormat er… Speaker, ADUN Tioman, sahabat saya bertanyakan tentang status pembinaan Masjid FELDA Selendang 2 dan juga Masjid Desa Selesa Perpat. Kita bersyukur kepada Allah SWT, Masjid ini telah mendapat peruntukan kedua-dua buah kampung ini telah mendapat peruntukan daripada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dengan kos bagi Masjid Selendang 2 RM2.4 juta, manakala bagi Masjid er… Desa Selesa Perpat dengan kos RM2.6 juta. Desa FELDA Selendang 2 ini, proses pembinaan sedang berlaku di tapak dan dijangkakan pada tahun depan, masjid ini telah selesai dibina dan boleh diguna, InsyaAllah. Manakala Masjid Desa… Desa Baru… Desa Selesa Perpat ini masih lagi dalam proses perolehan, dijangkakan pada akhir 2026 akan bermula kerja-kerja pembinaannya InsyaAllah. Terima kasih Dato’ Sri Speaker.
Terima kasih pihak Kerajaan. Seterusnya saya menjemput ADUN Semambu.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Soalan saya nombor 5.
[Adakah Kerajaan Negeri, melalui PBT dan agensi berkaitan, boleh mempertimbangkan peningkatan kekerapan pembersihan longkang, pemotongan rumput dan penyelenggaraan bahu jalan di kawasan perindustrian, khususnya Kawasan Perindustrian Semambu, Indera Mahkota 3 dan Indera Mahkota 14?
Adakah Kerajaan Negeri bercadang menyediakan jadual pembersihan berkala yang lebih konsisten bagi mengurangkan risiko banjir kilat, kerosakan jalan, longkang tersumbat dan imej kawasan perindustrian yang kurang kondusif?]
Assalamualaikum WBT. Terima kasih kepada Semambu kerana telah mengemukakan soalan nombor 5.
Untuk pengetahuan sidang Dewan, Majlis Bandaraya bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan dan pembersihan awam secara berkala di kawasan perindustrian Semambu, Indera Mahkota 3 dan juga Indera Mahkota 14 dan ianya tertakluk kepada jadual kerja serta peruntukan yang telah diluluskan. Kawasan yang di bawah selenggaraan pihak MBK di kawasan industri adalah meliputi jalan pembandaran, sistem perparitan, rumput dan pemotongan rumput dan juga kegunaan lorong-lorong belakang dan ini tidak termasuk sistem pengurusan sisa pepejal kerana ianya terikat dengan Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Skim Bagi Sisa Komersial, Perindustrian Dan Keinstitusian) 2018, Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Dan yang keduanya, skop kerja dan kekerapan yang dipertanggungjawabkan kepada… skop kerja ini dipertanggungjawabkan kepada pihak SW Corp melalui konsesi yang dilantik iaitu Alam Flora Sdn. Bhd. adalah sebanyak 1 kali sebulan bagi kerja pencucian longkang dan 2 kali sebulan bagi kerja pemotongan rumput di Kawasan Perindustrian Semambu, Indera Mahkota 3 dan juga Indera Mahkota 14 mengikut Akta 672 yang diguna pakai di dalam negeri Pahang dan bagi meningkatkan lagi tahap kebersihan dan keselesaan kawasan tersebut, Majlis Bandaraya Kuantan sentiasa memantau dan keadaan semasa dan akan mempertimbangkan penambahan kekerapan kerja-kerja seperti contohnya pembersihan longkang dan juga parit, pemotongan rumput di kawasan lapang dan rizab jalan dan kerja-kerja penyenggaraan persekitaran lain yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuantan.
Dan pelaksanaan kerja-kerja ini bertujuan memastikan persekitaran yang kawasan perindustrian sentiasa bersih, teratur dan kondusif serta dapat membantu mengurangkan risiko longkang tersumbat yang boleh menyumbang kepada keadaan banjir kilat. Manakala jalan utama pula di kawasan perindustrian Semambu adalah di bawah tanggungjawab pihak Jabatan Kerja Raya dan Konsesi Road Care Sdn. Bhd. yang melibatkan kerja-kerja pembersihan longkang, penyenggaraan jalan, bahu jalan, perabot jalan, kerosakan jalan serta kerja-kerja yang melibatkan pokok dan juga infrastruktur jalan raya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat pihak kerajaan. Seterusnya saya menjemput ADUN Tahan.
Assalamualaikum WBT dan Salam sejahtera. Soalan saya nombor 6.
[Apakah langkah dan perancangan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap Klinik Kesihatan di Negeri Pahang, khususnya di kawasan luar bandar seperti DUN Tahan, mempunyai sekurang-kurangnya sebuah ambulans yang berfungsi sepenuhnya bagi mempercepatkan tindak balas terhadap kes-kes kecemasan dan rujukan pesakit ke hospital?]
(MUADZAM SHAH – N.41)
Yang Berhormat Speaker,
Terima kasih kepada sahabat saya daripada Tahan yang bertanyakan soalan apakah rancangan dan langkah Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap Klinik Kesihatan Negeri Pahang khususnya di kawasan luar bandar seperti di DUN Tahan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah ambulans yang berfungsi sepenuhnya bagi mempercepatkan tindak balas terhadap kes-kes kecemasan dan er… pesakit ke hospital.
Yang Berhormat Speaker,
Urusan pengagihan ambulans di klinik kesihatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia. Penempatan, penggantian dan juga penyelenggaraan ambulans dilaksanakan berdasarkan keperluan perkhidmatan, jumlah penduduk, liputan kawasan, kadar penggunaan serta peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat terhadap keperluan rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di DUN Tahan agar akses kepada perkhidmatan kesihatan dan kecemasan dapat dipertingkatkan. Pada masa ini terdapat sebanyak 55 unit ambulans yang berada dalam keadaan baik dan sedang beroperasi di 94 buah klinik kesihatan di seluruh negeri Pahang. Manakala di DUN Tahan, 1 unit ambulans telah ditempatkan di Klinik Kesihatan Kuala Tahan bagi perkhidmatan kecemasan di kawasan liputan operasi.
Walau bagaimanapun, bagi memperkukuhkan perkhidmatan ambulans di fasiliti kesihatan primer terutama di luar bandar, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang melaksanakan proses perolehan ambulans baru bagi tender perolehan berpusat dan negeri Pahang dijangka akan menerima 53 unit ambulans Type B. Agihan ambulans baru ini dijangka dapat dilaksanakan pada tahun 2027, tertakluk kepada kelulusan, pemuktamadan, proses perolehan serta jadual penghantaran oleh pembekal yang dilantik.
Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang akan terus menyuarakan keperluan rakyat Pahang kepada Kerajaan Persekutuan supaya penambahan aset ambulans dapat dipertimbangkan dari semasa ke semasa khususnya bagi klinik-klinik kesihatan di luar bandar demi memastikan perkhidmatan
kesihatan yang lebih cepat, cekap dan berkesan kepada seluruh rakyat di negeri ini. Sekian, terima kasih.
Seterusnya, kita pergi kepada soalan yang ke-6. Ahli daripada Beserah, 2 kali hari ini.
Ha, ni hikmah tukar tempat ni.
Tau sebab apa? Pasal tak ramai ahli-ahli yang lain hantar soalan.
Cuma tak boleh soalan tambahan je, jadi susah sikit la. Tapi takpe la kita... Terima kasih Dato' Sri Speaker, saya kemukakan soalan yang ke-6.
[Merujuk kepada pelan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) dalam radius 15 kilometer dari stesen ECRL di Pahang, mohon Kerajaan Negeri nyatakan status terkini komitmen pelaburan yang telah dimuktamadkan setakat tahun 2026.
Mohon perincikan:
a. Status pembangunan fizikal dan kemasukan industri di kawasan komersial strategik sekitar Stesen Temerloh (Hab Logistik & Halal) serta Stesen Bentong (Zon Industri Sederhana); dan
b. Sejauh mana penglibatan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC Pahang) dalam memajukan tanah-tanah rizab atau koridor ekonomi di sekeliling stesen-stesen ini.]
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT. Terima kasih Dato' Sri Speaker dan juga terima kasih ADUN Beserah yang kemukakan soalan mengenai status pembangunan berorientasikan transit dan projek pemecut ekonomi di stesen ECRL dan soalan ini juga memohon perincian mengenai pembangunan khususnya di stesen Temerloh dan juga Bentong serta penglibatan syarikat GLC Pahang.
Untuk makluman Dewan Yang Mulia, bagi status komitmen pelaburan di sekitar stesen-stesen ECRL di Pahang, terdapat beberapa projek yang telah dimuktamadkan. Antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Stesen ECRL Cherating, Hab Komersial di Stesen ECRL KotaSAS, Hab Logistik Perodua di Paya Besar dan juga Projek Fire Phoenix Data Center di stesen ECRL Paya Besar juga. Bagi stesen ECER… ECRL, sorry Bentong. Antara pembangunan yang telah dirancang ialah
Terminal Bersepadu Bentong dan Pangsapuri PahangKu, selaras dengan cadangan pembangunan TOD dan EAP, dengan izin.
Manakala stesen ECRL Temerloh antara cadangan yang dikenal pasti termasuk pembangunan Inland Port, jalan pintasan serta kerja naik taraf persimpangan dan juga lampu isyarat. Bagi kerja-kerja jalan dan persimpangan, perkara ini sedang dalam tindakan pihak JKR. Namun begitu, saya ingin tegaskan bahawa cadangan pembangunan di Bentong dan Temerloh ini masih belum melibatkan komitmen pelaburan yang dimuktamadkan. Masih dalam rundingan dan setakat ini belum terdapat rekod pelaburan langsung domestik mahupun asing bagi projek-projek tersebut.
Kerajaan Negeri akan terus menyelaraskan cadangan pembangunan di setiap stesen ECRL berdasarkan keperluan dan potensi semasa kawasan berkenaan supaya pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Bagi penglibatan GLC Pahang pula, syarikat berkaitan GLC berperanan sebagai badan pelaksana dan juga rakan strategik kepada pelabur yang berminat membangunkan kawasan TOD dan EAP. Setiap cadangan pelaburan akan melalui tapisan pra pelaburan oleh Invest Pahang untuk memastikan padanan antara pelabur, aset dan projek bersesuaian. Dalam hal ini, penglibatan SGLC adalah berdasarkan 3 kekuatan utama iaitu kepakaran dan kapasiti dalaman, penawaran aset strategik serta peranan sebagai pemudah cara dalam urusan dengan jabatan agensi dan juga pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan Negeri akan pastikan pembangunan di sekitar ECRL ini bukan sahaja membangunkan infrastruktur, malah turut menjadi pemangkin kepada pelaburan, aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang. Terima kasih.
Seterusnya kita pergi kepada soalan yang ke-7.
Assalamualaikum WBT. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, soalan saya nombor 7. [Apakah pencapaian utama Kerajaan Negeri dalam memperkasakan agenda pembangunan wanita dan keluarga di bawah Aspirasi Pahang 1st sepanjang tahun 2026?]
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Sri Speaker serta sahabat yang bertanya. Yang mana pertanyaannya berbunyi apakah pencapaian Kerajaan Negeri dalam memperkasakan agenda pembangunan wanita dan keluarga bawah Aspirasi Pahang 1st sepanjang tahun 2026. Bagi menjawab soalan tersebut, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberikan keutamaan terhadap agenda pembangunan wanita dan pengukuhan institusi keluarga sebagai antara komponen penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri yang inklusif.
Sepanjang tahun 2026 terutamanya khususnya bagi tempoh separuh tahun pertama, beberapa pencapaian utama telah dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi dan pemegang taruh. Antaranya memperkasa kepimpinan dan potensi wanita melalui pelaksanaan program pembangunan kapasiti, kepimpinan, keusahawanan serta peningkatan kemahiran wanita agar lebih berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah program WANDA di mana Wanita Anggun Digital di Parlimen Jerantut dan Bera yang memberi penekanan kepada pemerkasaan wanita melalui kemahiran digital dan seterusnya ialah memperkukuhkan agenda pembangunan wanita melalui Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang dengan memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan, ekonomi, pendidikan, kepimpinan, sosial serta pemerkasaan wanita di peringkat akar umbi.
Dan yang ketiga, memperluas program kesejahteraan dan sokongan sosial kepada wanita serta keluarga termasuk pendekatan yang memberi perhatian kepada golongan rentan, ibu tunggal, wanita berpendapatan rendah dan keluarga yang memerlukan sokongan. Seterusnya meningkatkan literasi serta kesedaran wanita melalui program berkaitan undang-undang, keselamatan, kesihatan, psikososial, kerohanian dan pembangunan diri. Antaranya Program Konvensyen Wanita Pahang Tahun 2026 yang dilaksanakan oleh Unit Pembangunan Wanita Negeri Pahang pada Februari 2026.
Yang kelima, memperkasa wanita melalui pendigitalan dan teknologi termasuk pendedahan kepada penggunaan teknologi baharu dan kecerdasan buatan serta membantu bagi membantu meningkatkan produktiviti serta membuka peluang ekonomi baharu kepada wanita.
Dan keenam, mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, institusi pendidikan dan komuniti diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan wanita dan keluarga dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Melalui Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang, pelbagai program di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang dijalankan dengan penglibatan pemegang taruh mengikut kepakaran dan keperluan kumpulan sasaran. Semua inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan wanita Pahang bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan. Malah turut berperanan sebagai penggerak, pemimpin dan rakan strategik dalam pembangunan negeri. Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh Pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang supaya agenda pemerkasaan wanita dan pengukuhan keluarga dapat diterjemahkan kepada impak yang lebih jelas berstruktur dan berterusan selaras dengan aspirasi Pahang 1st. Sekian, terima kasih.
Soalan seterusnya kita pergi soalan yang 8.
Assalamualaikum WBT. Terima kasih Dato' Sri Speaker. Pertanyaan saya nombor 8.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum WBT. Terima kasih, Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Terima kasih rakan saya dari Jenderak yang bertanya berkenaan dengan penganjuran program dan dana khas oleh kerajaan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Untuk makluman Yang Berhormat Jenderak dan juga Ahli-ahli Dewan sekalian. Yang terbaru yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang adalah Program Walk A Town With Me Pahang 1st yang dilaksanakan di setiap daerah di Negeri Pahang ini. Err...setakat ini, 4 daerah telah melaksanakan program ini iaitu di Kuantan, Raub, Jerantut dan Bera yang mana turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Diraja Menteri Besar Pahang. Misalnya di Raub, baru-baru ini, lebih 5,000 peserta mengambil bahagian dalam program ini.
Selain daripada itu, pelbagai lagi inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk menggalakkan gaya hidup sihat dikalangan rakyat khususnya orang muda. Antara program terbaharu yang dilaksanakan bermula tahun ini adalah Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah, Liga Bola Jaring Pahang 1st dan Sepak Takraw Leaque Pahang 1st, Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang. Ketiga-tiga program ini dilaksanakan diperingkat DUN membawa kepada peringkat daerah sehingga ke peringkat negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang membelanjakan satu peruntukan yang cukup besar untuk pelaksanaan tiga sukan ini.
Dimana untuk Liga Bola Sepak Rakyat sebanyak RM2 juta, Liga Bola Jaring, RM1 juta dan Sepak Takraw League sebanyak RM500,000. Malaysia yang disertai oleh setiap lapisan rakyat bermula daripada peringkat kampung, DUN, daerah dan akhirnya ke peringkat negeri dan insya-Allah selepas ini, Kerajaan Negeri Pahang merancang untuk melaksanakan Program Liga Bola Sepak bawah umur 17 tahun, 15 tahun, 12 tahun, 10 tahun dan 8 tahun. Ini kerana program ini err... mendapat sambutan yang cukup baik di kalangan rakyat. Selain daripada itu, dibawah inisiatif yang dilaksanakan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, err... kita sekarang sedang giat melaksanakan program menawan 11 puncak di 11 daerah di negeri Pahang ini yang cukup viral ketika in. Penyertaannya sentiasa penuh untuk setiap daerah yang mana orang luar turut... orang luar pahang turut mengambil bahagian untuk menyertai acara yang julung-julung kali diadakan ini.Selain kita menggalakkan aktiviti sihat, kita juga menggalakkan dan merancakkan aktiviti pelancongan di negeri Pahang itu sendiri.
Dan di peringkat Stadium Darul Makmur. Sekarang dah jadi fenomena Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Orang berlari, orang berzumba, orang briskwalk dan herooks di Stadium Darul Makmur. Satu, satu keadaan yang tak pernah berlaku sebelum ini menunjukkan bahawa program-program sukan dan rekreasi yang dilaksanakan di bumi Pahang ini mendapat sambutan yang cukup baik ketika ini. Dan selain daripada program-program yang saya sebutkan tadi, banyak program-program sedia ada yang dilaksanakan di peringkat Majlis Sukan Pahang, Jabatan Belia dan Sukan Pahang dan juga Majlis Rekreasi Pahang giat dilaksanakan setiap bulan di bumi Pahang ini untuk menggalakkan gaya hidup sihat dikalangan rakyat dan khususnya orang muda. Dan kerajaan Negeri Pahang sememangnya berusaha gigih dan mengeluarkan belanja yang besar untuk memastikan rakyat minat bersukan dan menyertai aktiviti rekreasi. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Terima kasih Wakil daripada Kerajaan. Ahli-ahli Yang Berhoramat sekalian. Kita telah selesai membincangkan lapan pertanyaan dan jawapan. Saya tidak bercadang untuk
meneruskan soalan-soalan yang lain. Insya-Allah soalan-soalan tersebut akan dijawab secara bertulis sebelum kita meneruskan aturan- aturan lain. Pihak Kerajaan Negeri ada mengedarkan borang kajian kepuasan pelanggan yang diletakkan di atas meja. Mohon Ahli-ahli, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian err... untuk mengisi borang kajian tersebut bagi tujuan penambahbaikan pentadbiran Dewan Negeri. Sekarang kita teruskan dengan aturan selanjutnya.
Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2026) 2026 DN 21/2026Bill
Perkara keempat : Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2026) 2026 DN 21/2026. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Sri Speaker, saya mohon mengemukakan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2026) 2026.
Yang Berhormat Speaker, saya menyokong Usul itu.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu.
Yang Berhormat Dato Sri Speaker, saya mohon Rang Undang-undang tersebut dibaca bagi kali yang kedua pada hari ini juga.
Yang Berhomat Speaker, saya mohon izin menyokong Usul tersebut.
Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (2/2026) 2026, dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Saya mahu mencadangkan, Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2026 dan bagi memperuntukkan sejumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu.
Yang Berhormat Dato Sri Speaker,
Perkara 44 Bahagian Dua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang menyatakan bahawa jika wang diperuntukkan oleh Undang-undang Perbekalan tidak mencukupi atau terdapat lebihan perbelanjaan bagi apa-apa maksud di mana-mana tahun kewangan, ianya hendaklah dibentangkan didalam Dewan Negeri dan kepala-kepala perbelanjaan tersebut hendaklah dimasuk, dimasukkan dalam Rang Undang-undang Perbekalan.
Di samping itu, Seksyen 11(3) Akta Prosedur Kewangan membolehkan Menteri Besar membuat pendahuluan dari Kumpulan Wang Disatukan untuk menampung keperluan tersebut.
Jumlah perbelanjaan tambahan bagi Perbelanjaan Mengurus Tahun 2026 menunjukkan tambahan-tambahan perbelanjaan melibatkan Objek Am 10000 (Emolumen), Objek Am 20000 (Perkhidmatan dan Bekalan) dan Objek Am 40000 (Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap) berjumlah RM178,900,000.00.
Yang Berhormat Speaker, maklumat penuh bagi tujuan tambahan ini adalah dinyatakan di dalam Memorandum Perbendaharaan yang dibentangkan di dalam Persidangan Dewan ini sebagai kertas DN 23/2026.
Yang Berhormat Speaker, sekian sahaja penerangan ringkas saya berhubung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2026) 2026 ini dan berharap Rang Undang-undang yang saya bentangkan ini mendapat sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan seterusnya diluluskan. Saya mohon mencadang. Terima kasih.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon izin menyokong Usul itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, masalah di hadapan majlis ialah suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2026 dan bagi peruntukan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu dibaca kali yang kedua sekarang dan dibuka untuk dibahaskan.
Bismillahirahmanirrahim, terima kasih Dato’ Speaker. Saya ambil perhatian sedikit untuk mengambil bahagian dalam perbahasan. Sikit sahaja ialah bagi Objek Am RM20,000.00 dan Perkara 3 iaitu tambahan sebanyak RM3 juta diperlukan bagi menampung perbelanjaan bagi tujuan pelarasan, bayaran perkhidmatan perubatan kakitangan dan bayaran perkhidmatan Sistem Hasil Pahang One. Saya dapat penjelasan berapakah jumlah yang diperuntukkan kepada bayaran perkhidmatan Sistem Hasil Pahang One. Terima kasih, daripada RM3 juta tersebut.
Terima kasih Yang Berhormat daripada Cheka. Terasa jauh pula selalu dekat ni je. Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, peruntukan tambahan ini adalah satu perkara lazim. Perkara biasa yang saya fikir mana-mana kerajaan pun akan melaksanakan. Sebab yang pertama sekali yang penting kena ada duit dan kita buat tambahan ni RM178 juta ni sebab kita ada duit, jadi kita buat. Secara detailnya saya tidak… tidak ingatlah, tetapi secara keseluruhan sepertimana yang saya bentangkan tadi, tetapi perkara ini telah dibincangkan beberapa kali dengan saya sebelum dibawa ke dalam Dewan dan ianya selain daripada duit ada kadang perbelanjaan itu di luar jangka yang kita tidak terfikir semasa kita membentangkan belanjawan.
Dan yang ketiga perkara tersebut melibatkan rakyat. Kepentingan rakyat yang mana kita perlu laksanakan sepertimana yang dikatakan tadi, Objek 10,000, 20,000, 40,000 itu adalah perkara perkara yang tidak dapat dielakkan dan pokoknya yang penting Yang Berhormat Dato’ Speaker, kita ada duit dan kita belanja untuk rakyat. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang saya kemukakan masalah kepada majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa Rang Undang-undang yang dibaca kali yang kedua sekarang. Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan setuju.
Setuju
Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan “Tidak” Tiada. Rang Undang-undang tersebut dibaca kali yang kedua sekarang.
Bacaan Kali Kedua
Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2006 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu.
Dewan Negeri bermesyuarat dalam jawatankuasa.
[Cokmar diturunkan]
Jadual B.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian. Kepala Bekalan B.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri dibuka untuk dibahaskan. Tiada perbahasan. Masalahnya bahawa wang sejumlah RM156 juta sahaja untuk kepala B.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri menjadi sebahagian daripada jadual hendaklah dipersetujukan. Ahli-ahli yang bersetuju, sila nyatakan setuju.
Setuju
Ahli-ahli yang tidak bersetuju, sila nyatakan “Tidak”. “Tiada”. Kepala B.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri menjadi sebahagian daripada jadual.
Jadual B.32 - Kumpulan WangTerkanun.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Kepala Bekalan B.32 - Kumpulan Wang Terkanun dibuka untuk dibahaskan. Tiada perbahasan. Masalahnya bahawa wang sejumlah RM202,900,000.00 sahaja untuk kepala B.32 - Kumpulan Wang Terkanun menjadi sebahagian daripada jadual hendaklah dipersetujukan. Ahli- ahli yang bersetuju, sila nyatakan setuju. Ahli-ahli yang tidak bersetuju, sila nyatakan tidak.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, minta maaf. Saya minta Yang Berhormat Sri Dato’ Speaker ulangkan lagi sekali jumlah peruntukan iaitu sebenarnya RM22,900,000.00 bukannya 200.
Oh, saya silap ya.
Ya, tersilap. Dah makan ubat dah?
Rasa belum makan ubat lagi. RM22,900,000.00 sahaja. Betul? Minta maaf. Terima kasih Yang Amat Berhormat memperbetulkan. Sebagai manusia biasa, saya tak lari daripada membuat kesilapan. Ahli-ahli yang bersetuju, sila nyatakan setuju.
Setuju
Ahli-ahli yang tidak bersetuju, sila nyatakan “Tidak”. Tiada. Kepala B.32 - Kumpulan Wang Terkanun menjadi sebahagian daripada Jadual.
Fasal 1 dan Fasal 2.
Fasal 1 dan Fasal 2 menjadi sebahagian daripada undang-undang. Dengan ini, saya mohon Ahli-ahli Yang Berhormat membuat cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang ini dimaklumkan kepada majlis sekarang.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon menyokong Usul itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Masalahnya ialah bahawa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2026) 2026 dimaklumkan kepada majlis sekarang, Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan setuju.
Setuju
Ahli-ahli yang tidak bersetuju, sila nyatakan “Tidak”. Tiada.Majlis bersidang semula dalam Majlis Mesyuarat. [Cokmar dinaikkan]
Bacaan Kali Ketiga
Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (2/2026) 2026 dibaca bagi kali yang ketiga.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker.
Saya mohon memaklumkan bahawa sesuatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu telah ditimbangkan dalam jawatankuasa dan dipersetujukan dengan tanpa pindaan. Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan sekarang.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong Usul itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Masalahnya ialah bahawa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2/2026 (2026) dibaca untuk kali ketiga dan diluluskan sekarang. Ahli-ahli yang bersetuju, sila nyatakan setuju.
Setuju
Ahli-ahli yang tidak bersetuju, sila nyatakan “Tidak”. Tiada. Rang Undang-undang dibaca untuk kali ketiga dan diluluskan sekarang.
(2) Rang Undang-undang Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 DN 22/2026Bill
Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (2/2026) 2026 bahawa dengan ini disahkan menjadi Enakmen oleh Badan Perundangan Negeri Pahang.
Perkara keempat : (2) Rang Undang-undang Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 DN 22/2026. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Bacaan Kali Pertama
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker.
Saya mohon mengemukakan Rang Undang-undang Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, saya menyokong Usul itu.
Suatu Enakmen untuk menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A 1667)
Yang Berhormat Sri Dato’ Speaker, saya mohon Rang Undang-undang tersebut dibaca bagi kali yang kedua pada hari ini juga.
Yang Berhormat Dato Sri Speaker, saya mohon izin menyokong Usul itu.
Bacaan Kali Kedua
Rang undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Saya mohon mencadangkan Suatu Enakmen untuk menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A 1667). Yang Berhormat Dato’ Speaker Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) telah diterima pakai di negeri Pahang menurut Fasal (3) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan (PP) melalui Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-Negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 [Enakmen No. 6 Tahun 1986] dan mula berkuat kuasa bermula 1 Januari 1988. Akta 313 telah dipinda melalui Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 1993 (Akta A864). Akta ini telah diterima pakai di negeri Pahang melalui Enakmen Perhutanan Negara (Pindaan) (Penerima pakai) 1993 dan berkuat kuasa pada 4 Februari 1994.
Seterusnya Akta 313 ini dipinda melalui Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) dengan meminda 73 seksyen daripada 117 seksyen sedia ada serta pengwujudan 14 seksyen baru. Pindaan kepada Akta A1667 telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (MMK) Ke-7/2023 pada 22 Februari 2023 - Perkara (6.1) berhubung penerimapakaian Akta A1667 di negeri Pahang. Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (MMK) Ke-23/2026 pada 1 Julai 2026, telah mempertimbangkan permohonan Rang Undang-undang Enakmen Perhutanan Negara dalam pindaan... (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 (Akta A1667) di negeri Pahang (RUU) untuk pembentangan dalam Dewan Undangan Negeri. Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) adalah dengan ini diterima pakai bagi negeri Pahang kecuali sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 3 Enakmen ini. Peruntukan Seksyen 7 dan 8 Akta Perhutanan Negara
(Pindaan) 2022 tidak terpakai bagi negeri Pahang dan Subseksyen 32(2) Akta Perhutanan Negeri… Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dipinda: (a) dalam perenggan (b) dengan menggantikan perkataan “(b) atau (c)” dengan perkataan “(b), (c) atau (d)”; dan dalam peranggan (c) dengan memotong perkataan “(d)”.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Secara umumnya, pindaan di dalam Akta A1667 ini memberi penekanan kepada beberapa aspek berikut, Pengukuhan dan Pemantapan penguatkuasaan. Kedua, pengelasan baru Hutan Simpanan Kekal dengan pertambahan kategori Hutan Taman Negeri. Ketiga, peningkatan kadar denda dan hukuman terhadap kesalahan hutan. Keempat, penambahbaikan pengurusan lesen dan permit termasuk kuasa, syarat tempoh sah lesen dan permit serta pelucutan deposit. Kelima, peningkatan aspek kewangan dan royalti termasuk penggunaan lebih meluas Kumpulan Wang Pembangunan Hutan atau KWPH. Keenam, pengenalan kesalahan baru seperti menghalang kerja-kerja penguatkuasaan, memberikan kenyataan palsu dan persubahatan dan tatacara baru bagi menjalankan penguatkuasaan seperti menjalankan operasi sekatan jalan raya dan akhirnya penambahbaikan pentadbiran termasuk kuasa tambahan kepada pihak berkuasa negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Sekian sahaja penerangan saya berhubung Rang Undang-undang Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) dan berharap Rang Undang-undang yang saya bentangkan ini mendapat sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan seterusnya diluluskan. Saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon izin menyokong usul itu.
Ahli-ahli Yang berhormat sekalian, masalah di hadapan Majlis ialah suatu enakmen untuk menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (A1667) dibaca kali yang kedua sekarang dan dibuka untuk dibahaskan.
Dato' Sri Speaker,
Saya minta untuk membahaskan berkenaan dengan enakmen ini. Secara prinsipnya, saya menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan Undang-undang Perhutanan termasuk meningkatkan hukuman terhadap kesalahan berkaitan pencerobohan dan pengambilan hasil hutan secara tidak sah. Namun begitu, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri berhubung Fasal 3 yang menetapkan bahawa Seksyen 7 dan Seksyen 4 Akta A1667 tidak diterima pakai di negeri Pahang. Saya memahami bahawa urusan tanah dan perhutanan merupakan bidang kuasa negeri dan Pahang mempunyai hak untuk menentukan bentuk keuntungan yang paling sesuai dengan keadaan negeri kita. Namun, persoalan saya ialah mengapa Kerajaan Negeri bersetuju menerima pindaan yang memperkukuhkan
hukuman dan penguatkuasaan tetapi pada masa yang sama memilih untuk tidak menerima 2 peruntukan yang berkaitan dengan proses pengeluaran dan penggantian hutan simpanan kekal.
Sekiranya Kerajaan Negeri mempunyai mekanisme sendiri yang lebih baik, saya berharap ia dapat diterangkan kepada Dewan khususnya, saya ingin mendapat jaminan terhadap 2 perkara. Pertama, apakah mekanisme yang membolehkan masyarakat setempat dan pihak berkepentingan memberikan pandangan sebelum sesuatu kawasan hutan simpanan dikeluarkan? Kedua, apakah jaminan bahawa setiap kawasan hutan simpanan kekal yang dikeluarkan akan digantikan dengan kawasan yang sekurang-kurangnya sama luas dan mempunyai nilai ekologi yang setimpal?
Bagi saya, isu ini bukan soal menentang pembangunan tetapi ia memerlukan Pahang memerlukan pembangunan dan pelaburan tetapi pada masa yang sama, pembangunan mestilah dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab supaya khazanah hutan negeri kita terus dilindungi untuk generasi akan datang. Sekiranya Pahang mempunyai mekanisme... mekanisme yang lebih baik daripada peruntukan persekutuan, saya menyokongnya tetapi mekanisme tersebut perlu jelas dan telus dan mempunyai kekuatan undang-undang supaya ia tidak bergantung semata-mata kepada budi bicara pentadbiran. Justeru, saya berharap Kerajaan Negeri dapat memperjelaskan kepada Dewan berkenaan dengan rasional pengecualian Seksyen 7 dan 4 serta apakah perlindungan alternatif yang akan digunakan oleh Pahang? Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Dato Sri Speaker,
Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat daripada Semambu yang begitu cakna atau prihatin tadi dan saya suka menjelaskan di Dewan Yang Mulia ini bahawa hutan adalah hak state, state matter termasuk tanah.
Hak Kerajaan Negeri.
Hak Kerajaan Negeri dan akta ini telah diluluskan pada tahun 2022 di Parlimen. Kita menerima pakai semua kecuali Seksyen 7 dan 8 Akta Perhutanan atas alasan yang pertama sekali, kita tidak mahu apa yang kita akan buat di state ini terutama daripada segi pembangunan dan sebagainya menjadi lambat. Sebabnya lazimnya public inquiry ni mengambil masa yang begitu panjang dan dalam pada pada itu pun kita menghadapi masalah kelewatan sesuatu projek yang nak dibuat di negeri kita. Apatah lagi kalau sekiranya akta ini kita setuju yang Seksyen 7 ni akan lebih melambatkan lagi untuk membuat public inquiry. Dia akan mengambil masa yang begitu lama dan kita telah bincang perkara ini dan kita tidak boleh tahan kerana kita bimbang nanti peruntukan yang diberikan itu akan ditarik balik. Itu yang pertamanya.
Selain daripada itu, selain daripada mengikat state, kita nak memudahkan urusan pembangunan dan kita nak mempercepatkan proses sesuai dengan kita ada dengan Pahang Invest dan sebagainya dan saya percaya sekiranya perkara ni kita terima ni akan melambatkan pembangunan di negeri kita. Itu antara alasannya dan yang lain-lain, setakat ini, saya dapati ianya berjalan seperti biasa. Tidak mencacatkan pembangunan, tidak melambatkan pembangunan. Tetapi kalau sekiranya akta ini diterima boleh melambatkan proses pembangunan untuk negeri kita. Terima kasih Dato' Sri Yang di-Pertua.
Sila Wakil daripada Cheka.
Terima kasih. Pertama sekali saya ucap tahniah, saya juga bersetuju bahawa perlunya Kerajaan Negeri bersama dengan keputusan di peringkat Parlimen Kerajaan Persekutuan dalam penyelarasan akta-akta yang telah pun dibuat pindaan. Saya juga ingin menarik perhatian pada perkara yang sama yang dibangkitkan tadi ialah tentang Seksyen 7 dan 8, di mana Pahang tidak menerima Fasal 3 bagi tujuan menerima pakai Seksyen 7 dan 8 ini dibangkitkan tadi, oleh yang dijelaskan oleh Yang Amat Berhormat bahawa isunya ialah kelewatan dan kita tidak boleh menunggu proses yang dibuat di peringkat Persekutuan. Cuma implikasi saya lihat kebimbangan kami, bila kita tak terima pakai Seksyen 7 dan 8 bermakna kita tidak bertanggungjawab untuk mengganti mana-mana hutan simpan kekal yang dah diwarta. Sebab kita tak terima pakai. Kita tak wajib mengganti. Kecuali kita terima bererti kita baru wajib ganti semula dan bila kita kita tak terima Seksyen 7 dan 8 bermakna Kerajaan Negeri tidak perlu mengganti semula. Dari segi prinsip perundanganlah. Walaupun saya yakin Kerajaan Negeri akan buat penggantian tetapi implikasi kalau kita tolak sejauh mana Kerajaan Negeri wajib ganti semua hutan simpan kekal tadi. Mohon penjelasan, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat daripada Cheka atas keprihatinan terhadap perhutanan di negeri Pahang ini. Sebelum saya mengulas lebih lanjut, saya ingin memaklumkan kepada Ahli-ahli Dewan Yang Mulia ini bahawa keluasan hutan simpan di negeri kita. 57.07 %, 57.07. Walaupun disarankan diminta oleh Kerajaan Pusat. Paling kurang 50% daripada keluasan hutan simpan. Kita di Pahang, 3.6 juta apa ni keluasan… keluasan negeri Pahang. Tapi kita ada 57.07%.
Negeri-negeri lain dah habis dah Yang Amat Berhormat.
Yang tu, terima kasihlah Speaker jadi tukang semak.
Saya ingatkan je lah. Sebab tu, negeri-negeri lain ini yang daripada lain. Pada pandangan saya, dia suruh kita buat. Dia nak cekam negeri-negeri yang masih banyak lagi. Tapi yang dia tu, tinggal 2%, 8%, 3% hutan simpan.
Boleh saya teruskan.
Silakan Yang Berhormat, saya menambah je.
Kemudian daripada segi reserve, hutan dan sebagainya semakin bertambah. Sebelum akta ini diluluskan oleh Parlimen dahulu dan sebelum akta ini diluluskan juga, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan. Saya tak ingat mesyuarat yang ke berapa yang mengatakan bahawa setiap lesen yang dikeluarkan untuk tujuan pembalakan mesti ada kawasan ganti sebelum lesen dikeluarkan. Itu arahan daripada Kerajaan Negeri. Kita dah buat dah dan tidak ada masalah pun setakat hari ni. Dan ianya termaktub di dalam keputusan ataupun keputusan Kerajaan Negeri untuk memastikan kawasan-kawasan yang diganti ini mesti digantikan terlebih dulu ataupun concurrent (dengan izin), Yang Berhormat Dato' Speaker sebelum Pejabat Perhutanan mengeluarkan lesen. Kita dah buat dah sebelum ini, sebelum Akta 2022 lagi. Jadi, sebab itu, Kerajaan Negeri merasakan kita bincang dalam MMK bahawa apa yang kita buat ini kita teruskan dengan kita terima tetapi kecuali Seksyen 7 dan Seksyen 8.
Jadi, Yang Berhormat daripada Cheka dan Yang Berhormat daripada Semambu, jangan khuatir, jangan bimbang kerana insya-Allah rakan-rakan Exco saya, apa yang yang kita bentangkan di dalam Exco lebih-lebih lagi melibatkan tanah dan perhutanan, kita akan bincangkan dengan terperinci sebelum kita membuat keputusan. Terima kasih Dato' Sri Speaker.
Terima kasih Yang Amat Berhormat. Ahli-ahli yang Berhormat sekalian, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Ahli-ahli yang bersetuju, sila nyatakan “setuju”. Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak”.
Tiada.
Rang Undang-undang tersebut dibaca untuk kali kedua sekarang.
Suatu Enakmen untuk menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [A1667].
Dewan Negeri bermesyuarat dalam Jawatankuasa.
[Cokmar diturunkan]
Fasal 1, Fasal 2, Fasal 3 dan Fasal 4.
Fasal 1, Fasal 2, Fasal 3 dan Fasal 4 menjadi sebahagian daripada undang-undang. Dengan ini, saya mohon Ahli Yang Berhormat membuat cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang ini dimaklumkan kepada Majlis sekarang.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon menyokong Usul itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Masalahnya ialah bahawa Rang Undang-undang Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 dimaklumkan kepada Majlis sekarang. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju sila nyatakan “setuju.” Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak.” Tiada. Majlis bersidang semula dalam Majlis Mesyuarat.
[Cokmar dinaikkan]
Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 dibaca bagi kali yang ketiga.
Yang Berhormat Speaker,
Saya mohon memaklumkan bahawa “Suatu Enakmen untuk menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667]”, telah ditimbangkan dalam Jawatankuasa dan dipersetujukan dengan tanpa pindaan. Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan sekarang.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Saya mohon menyokong Usul itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, masalahnya ialah bahawa Rang Undang-undang Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 dibaca kali yang ketiga dan diluluskan sekarang. Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan “setuju”.
Setuju.
Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak.” Tiada. Rang Undang-undang ini dibaca kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
UsulMotion
Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026, bahawa dengan ini disahkan menjadi Enakmen oleh Badan Perundangan Negeri Pahang.
PERKARA KELIMA: USUL
Usul Tambahan Perbelanjaan Pembangunan dan Perbekalan Air Tahun 2026. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Saya mohon izin untuk membawa satu Usul di Dewan yang mulia ini yang berbunyi:
“Bahawa Dewan ini, mengikut syarat-syarat ketetapan yang menubuhkan Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Perbekalan Air, dengan ini bersetuju meluluskan Perbelanjaan Tambahan 2026 daripada Kumpulan Wang tersebut itu sebagaimana yang ditetapkan di dalam Memorandum Perbelanjaan Tambahan 2026 yang dibentangkan di dalam Persidangan ini sebagai Kertas Mesyuarat DN 24/2026.”
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Jumlah perbelanjaan tambahan bagi Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2026 adalah menunjukkan tambahan seperti berikut:
Maksud Pembangunan P.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, RM5,900,000.00. Maksud Pembangunan P.30 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri RM17,000,000.00. Peruntukan tambahan sebanyak RM22,900,000.00 dimohon bagi tujuan menampung keperluan perbelanjaan serta
memastikan pelaksanaan projek-projek yang akan memberi kesan secara langsung kepada rakyat dapat diteruskan.
Yang Berhormat Speaker,
Sekian sahaja penerangan ringkas saya berhubung Usul Tambahan Perbelanjaan Pembangunan dan Perbekalan Air Tahun 2026. Saya berharap Usul ini akan mendapat sokongan dan kelulusan Dewan Yang Mulia ini. Saya mohon mencadang.
Ada ahli yang menyokong. Yang Berhormat.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, saya mohon menyokong Usul tersebut.
Usul dibuka untuk perbahasan. Tiada perbahasan. Masalahnya ialah Usul ini telah dicadangkan dan disokong. Soalannya sekarang ialah Usul ini hendaklah dikemukakan untuk mendapat kelulusan.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan Usul ini, sila nyatakan “setuju”. Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju, sila nyatakan “tidak”. Tiada. Usul tersebut diluluskan.
Perkara Keenam: Urusan-Urusan Am
Kertas-kertas Mesyuarat.
Memorandum Perbendaharaan Tambahan Perbelanjaan Mengurus Tahun 2026. DN 23/2026
Memorandum Perbendaharaan Tambahan Perbelanjaan Pembangunan dan Perbekalan Air Tahun 2026. DN 24/2026 Laporan Tahunan 2025 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang. DN 25/2026
Penyata Kewangan Majlis Sukan Pahang Berakhir 31 Disember 2024. DN 26/2026
Penyata Kewangan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser Berakhir 31 Disember 2024. DN 27/2026
Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Lembaga Pembangunan Tioman Berakhir 31 Disember 2024. DN 28/2026
Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang Berakhir 31 Disember 2025. DN 29/2026
PERKARA KETUJUH: PENANGGUHAN
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana kita telah pun sampai ke garis penamat kedua penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada hari ini. Walau bagaimanapun, persidangan kita kali ini sepatutnya berlangsung dalam masa satu hari. Namun, saya mohon maaf kerana persidangan ini terpaksa ditangguhkan lebih awal kerana saya dan sebahagian daripada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan perlu menghadiri Istiadat Pemakaman Almarhumah Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala, Tengku Datuk Seri Setia Hajjah Aishah binti Almarhum Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Makam Diraja Pahang, Pekan.
Seperti biasa Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, saya merakamkan ucapan terima kasih, tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker dan juga Yang Berhormat Timbalan Speaker. Walaupun sekejap kerana telah berjaya mempengerusikan persidangan ini dengan penuh tertib, sabar dan berhemah. Walaupun tersasul tadi sedikit 100 juta dengan puluhan juta, kita masih perlu membetulkan takut ia..
Yang Amat Berhormat, saya manusia biasa.
Saya pun manusia biasa [ketawa]. Tidak ketinggalan, saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan Ahli Yang Berhormat kerana memahami situasi semasa dan ini adalah Pahang 1st. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua [Ahli Dewan menepuk meja]. Kepada rakan-rakan Exco saya juga ucapkan terima kasih kerana dapat menjawab soalan dengan teratur walaupun tidak ada soalan tambahan. Tetapi Insya-Allah bulan 11 ini kita adakan lagi Sidang Dewan. Mungkin rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat boleh kumpulkan untuk tanya ketika itu.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, antara perkara yang cukup dekat dengan hati saya dan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Pahang ialah untuk memastikan tidak ada rakyat Pahang yang tercicir daripada arus pembangunan. Alhamdulillah, pada 19 Februari 2026, Kerajaan Negeri berjaya menoktahkan statistik miskin tegar apabila kesemua 2,913 ketua isi rumah yang direkodkan dalam log figure pada 15 Januari 2026, berjaya dikeluarkan daripada status tersebut. Tahniah kepada penjawat awam juga diucapkan. Dalam pada itu, kita turut berjaya memangkaskan kemiskinan sebanyak 30% daripada 4,263 daripada 14,210 ketua isi rumah berstatus miskin pada 5 Jun 2026 berjaya dikeluarkan daripada kelompok tersebut.
Bagi saya, angka ini bukan sekadar angka, disebalik setiap angka ini ada keluarga ada ibu-bapa yang berjuang membesarkan anak-anak. Ada anak-anak yang mahu belajar dan ada keluarga yang kita mahu lihat akhirnya mampu berdikari serta
menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Sebab itu, kejayaan ini bukan noktah tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Kita mesti memastikan mereka yang telah keluar daripada kemiskinan tegar tidak kembali semula di samping terus membantu mereka yang masih memerlukan. Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan tetapi memastikan rakyat mempunyai pekerjaan pendapatan yang stabil dan akhirnya mampu berdiri dengan kaki sendiri. Di samping itu, kita juga sedar bahawa data dalam sistem e-Kasih bersifat dinamik. Perubahan pekerjaan pendapatan saya sekeluarga dan keadaan sosioekonomi boleh mengubah kedudukan sesebuah isi rumah dari semasa ke semasa. Maka, sebab itulah kerja kita masih belum selesai lagi.
Untuk itu, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan, Wakil Rakyat, pemimpin masyarakat dan seluruh jentera kerajaan supaya setiap keluarga yang memerlukan tidak kita biarkan bersendirian.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, bagi tujuan membasmi kemiskinan untuk usaha, untuk membasmi kemiskinan membawa kita kepada satu hakikat yang lebih besar, kesejahteraan rakyat tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada bantuan. Rakyat mesti diberikan peluang untuk meningkatkan taraf hidup melalui usaha dan kemampuan sendiri.
Sebab itu kita mesti membina ekonomi yang kukuh, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, membuka ruang keusahawanan, menarik pelaburan serta memperkukuhkan pendidikan dan TVET. Itulah pembangunan yang kita mahu. Pembangunan yang sampai kepada rakyat tidak meninggalkan sesiapa dan mampu diwariskan kepada generasi akan datang. Namun, kita untuk mencapai semua ini, kita memerlukan kestabilan politik, kestabilan pentadbiran, perpaduan rakyat dan tadbir urus yang baik. Kalau kita mahu pelabur datang, kita mesti mempunyai kestabilan. Kalau kita mahu ekonomi berkembang, kita mesti mempunyai keyakinan. Kalau kita mahu pembangunan berjalan lancar, kita mesti mempunyai pentadbiran yang konsisten dan kalau kita mahu rakyat hidup aman dan sejahtera, kita mesti mempertahankan perpaduan.
Alhamdulillah, Pahang punya asas yang kukuh dalam perkara ini. Buktinya, Pahang muncul sebagai negeri terbaik dengan Indeks Perpaduan Nasional bagi tahun 2025 [Ahli Dewan menepuk meja]. Bagi saya, pencapaian ini bukan sekadar kedudukan atau angka tetapi cerminan wajah rakyat Pahang. Rakyat yang hidup dalam kepelbagaian, saling menghormati, saling membantu memahami perbezaan bukan alasan untuk berpecah. Sebaliknya kekuatan untuk kita bergerak bersama. Saya ucapkan syabas, tahniah dan terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang. Pencapaian ini adalah pencapaian kita bersama. Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Kita sekarang berada dalam bulan Ogos bulan yang sentiasa mengingatkan kita tentang perjuangan, pengorbanan dan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi hari ini. Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 dan juga Hari Malaysia. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada seluruh rakyat Pahang agar kita bersama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang. Kemerdekaan bukan sekadar sambutan dan perarakan. Kemerdekaan adalah tentang tanggungjawab kita menjaga keamanan, mempertahankan perpaduan, menghormati perlembagaan dan prinsip Rukun Negara memelihara institusi Raja-raja Melayu serta memastikan ini terus dibina dengan semangat kebersamaan. Kita mahu anak-anak kita membesar dalam sebuah negara yang aman, mendapat pendidikan yang baik, mempunyai masa
depan yang cerah dan mewarisi sebuah negeri yang lebih maju, lebih makmur dan lebih sejahtera. Inilah amanah yang berada di bahu kita yang perlu kita laksanakan.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat daripada Kuala Sentul dan juga Lepar kerana memberi sokongan kepada saya dan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang ada pada hari ini. Saya amat terkejut sebenarnya, itu kejutan yang pertama, sebab saya sebelum ini bercuti. Saya buka-buka sampai je. Wan Rosdy menerima sokongan daripada DUN BERSATU. Saya cakap dalam hati saya Alhamdulillah, dan kalau ramai lagi nak nyatakan sokongan kita terima Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Makna peluang masih terbuka ya.
Rumah masih.
Allah, Yang Amat Berhormat itu saya serahkan kepada semua yang ada di sinilah.
Terima kasih Yang Amat Berhormat, saya kita sepanjang persidangan rasa tak pernah lagi kita bangkang mana-mana Rang Undang-undang Perbelanjaan yang dibentang dalam Dewan.
Saya baru nak ucap terima kasih. Tapi YB dah cakap dah.
Mendahului tu qasas sikitlah.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Saya juga itu yang pertama. Terima kasih kepada Kuala Sentul dan Lepar. Dan yang kedua, terima kasih kerana pada hari ini di mana yang saya katakan tadi memahami keadaan semasa kita dan semua rakan-rakan Ahli Yang Berhormat faham dan mesyuarat kita yang sepatut satu hari kita boleh ringkaskan sebelum jam 11.00. Saya sangat menghargai. Terima kasih. Dan di mana kata Yang Berhormat daripada Cheka, ayat tidak pernah bangkang itu, saya kurang setuju, sebab ada dalam persidangan
Dewan ini ada Yang Berhormat bangkang juga, tapi kita bagi penerangan akhirnya Yang Berhormat setuju dengan penerangan daripada pihak Kerajaan Negeri. Yang itu pun saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat daripada Cheka.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan, saya lagi sekalilah merakamkan penghargaan terima kasih, syabas dan tahniah kepada Speaker khususnya, saya nampak speaker keluar sekejap tadi makan ubat agaknya dan kembali semula ke tempat duduk.
Emergency, Yang Amat Berhormat.
Dan juga kepada Yang Berhormat Timbalan Speaker. Atas kejayaan, kebijaksanaan dan komitmen untuk menjalankan persidangan Dewan kita pada hari ini. Tak lupa kepada semua rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat sama ada daripada kerajaan ataupun di sebelah sana, rakan-rakan Exco dan saya juga merakamkan penghargaan kepada penjawat awam yang dipimpin oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan dan kita hari ini mendapat Penasihat Udang-undang yang baru. Yang baru sahaja melaporkan diri rasa saya, YB Ahmad Sazilee bin Abdul Khairi yang menggantikan Penasihat Undang-undang yang telah bersara wajib. Tadi sempat berborak dalam setengah jam. Alhamdulillah, warak orangnya. Selamat Datang Yang Berhormat Penasihat Undang-undang ke Negeri Pahang dan juga penghargaan kepada SS sampai ke peringkat yang paling bawah kepada Setiausaha Dewan serta seluruh kakitangan termasuklah warga kerja Pejabat SUK Pahang, Pejabat Penasihat Undang-Undang Pahang, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta semua agensi kerajaan yang telah memberikan kerjasama terbaik sepanjang persidangan ini berlangsung. Tidak lupa penghargaan saya kepada anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya serta semua petugas yang telah memastikan aspek keselamatan, kesihatan, teknikal dan kelancaran persidangan sentiasa berada pada tahap yang terbaik. [Ahli Dewan menepuk meja]
Kepada para petugas media, saya juga mengucapkan terima kasih atas liputan yang diberikan sepanjang persidangan ini. Insya-Allah kita akan bertemu lagi. Kalau sekiranya Dewan tidak dibubarkan ataupun Parlimen tidak dibubarkan pada hujung tahun ini. Jadi, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat kembali ke kawasan masing-masing. Semoga Allah SWT merahmati negeri Pahang Darul Makmur, melindungi seluruh rakyatnya, mengurniakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan serta memudahkan segala usaha kita dalam memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat. Sebelum kita bersurai, saya ingin menghadiahkan 2 rangkap pantun kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sekalian.
Pergi ke Lipis membeli rotan, Singgah sebentar di Pekan Lama, Berbeza pandangan tiada halangan, Perpaduan rakyat kekal bersama.
Layar berkembang menuju muara, Bahtera belayar merempuh gelora, Rakyat dijaga sepenuh jiwa, Pahang dipacu maju sejahtera.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon membawa cadangan bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Saya mohon izin untuk menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Diraja Menteri Besar Pahang sebentar tadi. Terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Alhamdulillah, kita telah sampai ke penghujung Persidangan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Ke-15. Walaupun kita terpaksa percepatkan, saya ucap terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kerana memahami keadaan yang berlaku. Saya ingin memaklumkan bahawa negeri Pahang telah dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Negeri Se-Malaysia pada 26 pada tahun 2026 bagi tahun 2026 yang akan diadakan di Zenith Hotel Cameron Highlands pada 6 hingga 9 September 2026. Untuk makluman, majlis perasmian akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang pada 8 September 2026, hari Selasa pada pukul 9.00 pagi manakala sebelah malamnya Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang telah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Diraja sempena persidangan tersebut pada pukul 8.30 malam. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dijemput hadir untuk kedua-dua majlis tersebut.
Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat telah memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang persidangan berlangsung. Terima kasih juga saya tujukan kepada Ketua-ketua Jabatan dan semua pihak yang telah memberi kerjasama dan sokongan dalam memastikan perjalanan persidangan Dewan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
Saya berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat kembali ke kawasan masing-masing dan selamat dengan selamat dan seterusnya melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat dengan sebaik-baiknya dengan sepenuh hati.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum kita mengakhiri persidangan kita pada hari ini, saya memaklumkan bahawa selepas selesai urusan Dewan ini, kita bolehlah bersama-sama menuju ke Pekan bagi menghadiri majlis pemakaman Yang Amat Mulia Almarhumah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala, Tengku Dato’ Sri Setia Hajjah Aishah binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Semoga, sehubungan itu, marilah kita sama-sama memberikan penghormatan terakhir dan mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh.
Saya juga mendapat makluman daripada Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Merdeka, Wakil daripada Benta bahawa menjemput semua Ahli-ahli Yang Berhormat untuk hadir ke majlis perbarisan pada hari tersebut, 31 Ogos. Dengan ini, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas segala kerjasama dan komitmen Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang persidangan ini.
Sekian Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dewan ditangguhkan pada jam 11.05 minit.
[Persidangan Dewan Negeri ditangguhkan]