Perlis · 20 July 2018
14th Assembly, 1st session, 1st meeting · 59 turns · 3,844 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk.
Doa
Doa.
(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan)
Perisytiharan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis Memanggil Dewan Undangan Negeri Untuk Bermesyuarat
Perisytiharan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja memanggil Dewan Undangan Negeri untuk bermesyuarat.
Perisytiharan oleh Almu’tasimu Billahi Duli Yang Maha Mulia Raja bagi negeri Perlis dan segala jajahan takluknya.
Tandatangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis. Diperturunkan mohor Kerajaan Negeri.
Bahawasanya telah diperuntukkan oleh Fasal 1 Perkara 55 di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bahawa beta dari suatu masa ke suatu masa memanggil Dewan Undangan Negeri. Maka oleh yang demikian, beta, Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja dan Raja Pemerintah bagi negeri Perlis dan segala jajahan takluknya, pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan kepada beta oleh Fasal 1 Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, dengan ini memanggil Dewan Undangan Negeri bagi mengadakan mesyuaratnya dan menetapkan mulai 20 haribulan Julai tahun 2018 pada pukul 9.00 pagi sebagai tarikh dan masa mengadakan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Ke-14, yang akan diadakan di Dewan Undangan Negeri Perlis bertempat di Kangar, Perlis.
Termaktub di Istana beta di Arau, Perlis pada 26 haribulan Jun tahun 2018.
Dengan titah perintah Duli Yang Maha Mulia.
Tandatangan Dato’ Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis.
Pemilihan dan Angkat Sumpah Jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis
Pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Perkara 56(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis, Dewan Undangan Negeri hendaklah dari suatu masa ke suatu masa, memilih mana-mana orang yang ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri sebagai Speaker Dewan dan tidaklah boleh dijalankan apa-apa urusan semasa jawatan Speaker Dewan itu kosong selain daripada pemilihan Speaker Dewan.
Untuk tujuan itu, saya telah menerima hanya satu cadangan untuk pemilihan Speaker Dewan iaitu daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar melalui surat bertarikh 2 haribulan Julai 2018. Oleh yang demikian, saya dengan hormatnya mempersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menzahirkan cadangan beliau bagi memilih Speaker Dewan.
Bismillahirahmanirrahim, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Setiausaha, saya dengan sukacitanya mencadangkan supaya Yang Berbahagia Dato’ Haji Hamdan bin Bahari dipilih sebagai Speaker bagi Dewan Undangan Negeri Perlis yang ke-14. Untuk tujuan itu, saya juga telah memastikan terlebih dahulu bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat sekiranya dipilih.
Tuan Setiausaha, saya menyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat, oleh kerana seorang sahaja yang dicadang dan disokong untuk dipilih sebagai Speaker Dewan, maka saya dengan ini…
Tuan Setiausaha, saya pohon pertanyaan sedikit. Di sini nampak di pihak sebelah kami, ada sedikit kekeliruan. Yang pertama soal pemilihan Speaker ni, kami tak tahu bagaimana cara pemilihan dibuat kerana kami tidak dimaklumkan secara detail. Jadi tiba-tiba ini terus ada satu surat daripada Yang Amat Berhormat Bintong mencadangkan hanya ada satu cadangan. Jadi sebelah kami ada… bukan keraguan. Jadi kita mohon sedikit penjelasan daripada Tuan Setiausaha berhubung perkara ini supaya lain kali sekurang-kurangnya kami ada option untuk di pihak kami juga membuat cadangan balas, kerana kita tak mahu jadi stamping di Dewan yang mulia ini, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Notis mengenai Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan…
Dak… maksud saya di sini ialah very simple. Kalau di pihak kami, kita ada buat suatu cadangan, boleh atau tidak dengan tidak ada notis sepertimana yang dinyatakan tadi?
Yang Berhormat, berdasarkan Perkara 115, Peraturan-Peraturan Tetap Dewan, dalam sebarang perkara yang tidak dinyatakan oleh Peraturan-Peraturan Dewan ini, maka hendaklah diikut Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat. Maka Peraturan 115, Dewan Undangan Negeri Perlis, dibaca bersama dengan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang berkaitan iaitu Peraturan 4 dan juga Peraturan 4(1) di mana Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan bahawa tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama untuk dipilih menjadi Speaker hendaklah memastikan terlebih dahulu beliau bersetuju berkhidmat jika dipilih dan memberitahu kepada Setiausaha Dewan dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat.
Tuan Setiausaha, tetapi dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, pengumuman Speaker hanya dibuat sehari sebelum persidangan. Adakah itu dikira menyalahi Peraturan Dewan ataupun tidak?
Aturan urusan Mesyuarat di Parlimen adalah urusan Parlimen, saya mengambil kira aturan Urusan Mesyuarat dalam Dewan Undangan Negeri…
Tuan Setiausaha menyebut tadi ada mengikut peraturan yang telah dibuat oleh........ rules yang dibuat oleh Parlimen.
Kita mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis iaitu dalam mana-mana perkara yang tidak ditetapkan dalam Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Perlis, kita akan mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat. Persoalan sama ada Dewan Rakyat mengikut sendiri peraturan tetap yang telah ditetapkan oleh Dewan Rakyat, itu adalah persoalan yang kedua. Bagi saya, notis yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah memenuhi peraturan-peraturan yang dinyatakan dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perlis.
Kalau sekiranya hari ini ada cadangan, adakah dikira ianya bertentangan dengan Peraturan Dewan?
Jika ada cadangan pada hari ini, maka ia bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Dewan seperti yang telah saya nyatakan tadi.
Baik, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya akan teruskan dengan aturan urusan mesyuarat kita pada hari ini. Untuk tujuan itu, sekali lagi saya nyatakan di sini bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mencadangkan Yang Berbahagia Dato’ Haji Hamdan bin Bahari untuk dipilih sebagai Speaker dan cadangan tersebut telah pun disokong oleh Yang Berhormat Chuping.
Oleh itu, saya dengan ini memasyurkan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Haji Hamdan bin Bahari dipilih sebagai Speaker bagi Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Ke-14 menurut Perkara 56 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Maka dengan itu, Majlis Mesyuarat Dewan dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berhormat Dato’ Haji Hamdan bin Bahari untuk masuk ke Dewan.
(Yang Berhormat Dato’ Haji Hamdan bin Bahari bergerak ke hadapan Dewan dengan diiringi oleh Bentara Dewan)
(Setiausaha Dewan dan bentara membantu menyarungkan jubah dan songkok kepada Yang Berhormat Speaker)
(Yang Berhormat Dato’ Haji Hamdan bin Bahari beredar ke meja Speaker)
(sambil berdiri dan mengangkat tangan kanan) Bismillahirahmanirrahim. Sumpah Jawatan dan Taat Setia Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis di bawah Perkara 56 (1B) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Adalah saya, Hamdan bin Bahari, setelah dipilih memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri bagi negeri Perlis, dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya akan sebenar-benar menjalankan kewajipan saya sebagai Speaker Dewan dengan sedaya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Negeri Perlis, dan bahawa saya akan memelihara, melindungi serta mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
(Yang Berhormat Speaker duduk di kerusinya dan menandatangani Surat Sumpah sebagai Speaker Dewan lalu menyerahkan kepada Setiausaha Dewan)
(Setiausaha Dewan kembali mengambil tempat)
Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis
Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.
Bismillahirahmanirahim, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T. atas limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.
Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, setinggi-tinggi kesyukuran terhadap Allah S.W.T. kerana dengan rahmat dan izinNya, kita semua dapat berhimpun di Dewan yang mulia ini pada hari ini untuk menunaikan kewajipan dan tanggungjawab kita kepada negeri dan rakyat. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kerana sekali lagi memberikan kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan Speaker bagi Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Ke-14. Sesungguhnya pelantikan ini adalah satu penghargaan yang sangat tinggi dan juga satu amanah yang amat besar. Walau bagaimanapun, dengan izin Allah, saya berikrar akan berusaha dengan sedaya upaya saya untuk menjalankan tugas dan amanah yang diberikan ini dengan sebaik dan seadil mungkin.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya juga mengucapkan tahniah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat kerana telah berjaya dipilih menjadi Wakil Rakyat bagi kawasan masing-masing di dalam Pilihanraya Umum Yang Ke-14 baru-baru ini. Setinggi-tinggi tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan bin Man kerana sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Menteri Besar bagi memimpin Kerajaan Negeri Perlis pada penggal kali ini. Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Ahli-ahli Dewan yang telah dipilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membantu Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menggalas tanggungjawab memaju dan memakmurkan negeri Perlis yang kita cintai ini. Saya berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, baik dari pihak Kerajaan mahu pun dari pihak pembangkang, akan dapat memberikan kerjasama yang sebaik mungkin kepada saya agar perbahasan di Dewan yang mulia ini sentiasa berjalan dengan tertib dan harmoni. Saya juga berharap agar kita semua dapat sama-sama berganding bahu dan bekerjasama serta memberikan pandangan serta nasihat kepada satu sama lain supaya Persidangan Dewan yang mulia ini dapat berjalan dengan baik dan lancar. Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Dewan hendaklah dijadikan panduan utama bagi melicinkan perjalanan Persidangan Dewan yang mulia ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sebagai salah satu komponen utama dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia, Dewan Undangan Negeri adalah sebuah badan yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia. Di sinilah tempatnya bagi Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian menyampaikan hasrat dan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing serta membantu memberikan input-input yang berguna bagi membentuk dasar-dasar Kerajaan. Harapan saya ialah Ahli-ahli Yang Berhormat dapat menghormati Dewan ini sebagai satu forum yang tertinggi lagi mulia dengan mematuhi peraturan-peraturan dan adabnya di samping menyampaikan buah fikiran dan hasrat rakyat melalui perdebatan yang bermutu tinggi, sihat dan membina. Untuk tujuan itu, saya berjanji akan berusaha dengan sedaya upaya saya untuk mengendalikan persidangan Dewan ini dengan adil dan saksama.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sebenarnya di luar sana terdapat ramai anak watan Perlis yang jauh lebih hebat daripada saya dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Akan tetapi ketentuan Allah telah meletakkan kita di tempat yang tinggi dan penting ini. Saya suka mengambil maksud terjemahan daripada Al Quran, Surah Ali ‘Imran, ayat ke-26, agar kita semua sama-sama dapat mengambil iktibar daripadanya :
“Katakanlah Wahai Tuhan yang mempunyai Kerajaan, Engkau berikan Kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut Kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Justeru itu, marilah kita sama-sama berganding bahu dalam memegang dan melaksanakan amanah besar yang telah Allah berikan kepada kita demi kemaslahatan rakyat dan negeri Perlis yang tercinta ini. Ahli-hli Yang Berhormat, akhir sekali saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua di atas pelantikan saya sebagai Speaker dan saya berjanji akan cuba menunaikan tugas-tugas saya dengan adil dan saksama sepertimana sumpah yang telah saya lafazkan tadi. Sekian, wabillahi tawfik wal hidayah, wassalammu`alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih.
Angkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri mengangkat sumpah jawatan dan taat setia.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang tibalah masanya untuk Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta menandatangani akuan sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Saya akan menjemput Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian seorang demi seorang untuk menyempurnakan angkat sumpah jawatan dan taat setia masing-masing. Apabila nama Yang Berhormat dipanggil, Yang Berhormat diminta bergerak ke tengah Dewan iaitu ke meja di hadapan Setiausaha Dewan untuk mengangkat sumpah.
Saya mulakan dengan mempersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan bin Man.
(YAB Menteri Besar bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Azlan bin Man, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Azlan bin Man, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Amat Berhormat Menteri Besar menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dipersilakan Yang Berhormat Puan Asmaiza binti Ahmad.
(YB Puan Asmaiza binti Ahmad bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya Asmaiza binti Ahmad, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Asmaiza binti Ahmad, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Puan Asmaiza binti Ahmad menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Nurulhisham bin Yaakob.
(YB Tuan Nurulhisham bin Yaakob bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Nurulhisham bin Yaakob, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjadi… memperlindungi… menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Nurulhisham bin Yaakob, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Perintah… menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Nurulhisham bin Yaakob menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Azizan bin Sulaiman.
(Yang Berhormat Tuan Azizan bin Sulaiman bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Azizan bin Sulaiman, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Azizan bin Sulaiman, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Azizan bin Sulaiman menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Hamizan bin Hassan.
(YB Tuan Hamizan bin Hassan bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Saya, Hamizan bin Hassan, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Hamizan bin Hassan, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Hamizan bin Hassan menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk).
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Ruzaini bin Rais.
(Yang Berhormat Tuan Ruzaini bin Rais bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Ruzaini bin Rais, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Ruzaini bin Rais, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Ruzaini bin Rais menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Puan Rozieana binti Ahmad.
(Yang Berhormat Puan Rozieana binti Ahmad bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya Rozieana binti Ahmad, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Rozieana binti Ahmad, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Puan Rozieana binti Ahmad menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan segala hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Puan Siti Berenee binti Yahaya.
(Yang Berhormat Puan Siti Berenee binti Yahaya bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Siti Berenee binti Yahaya, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Siti Berenee binti Yahaya, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya mengikut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Puan Siti Berenee binti Yahaya menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Teh Chai Aan.
(Yang Berhormat Tuan Teh Chai Aan bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Saya, Teh Chai Aan, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Teh Chai Aan, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Teh Chai Aan menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Asrul Nizan bin Abd Jalil.
(Yang Berhormat Tuan Asrul Nizan bin Abdul Jalil bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Asrul Nizan bin Abdul Jalil, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan taat setia... setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Asrul Nizan bin Abdul Jalil, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Asrul Nizan bin Abdul Jalil menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Puan Gan Ay Ling.
(Yang Berhormat Puan Gan Ay Ling bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Saya, Gan Ay Ling, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Gan Ay Ling, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Puan Gan Ay Ling menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Nor Azam bin Karap.
(Yang Berhormat Tuan Nor Azam bin Karap bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya Nor Azam bin Karap, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Nor Azam bin Karap, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Nor Azam bin Karap menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan beredar ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli.
(Yang Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Mohd Shukri bin Ramli, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Mohd Shukri bin Ramli, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Tuan Mohd Ridzuan bin Hashim.
(Yang Berhormat Tuan Mohd Ridzuan bin Hashim bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Mohd Ridzuan bin Hashim, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Mohd Ridzuan bin Hashim, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Tuan Mohd Ridzuan bin Hashim menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Dan yang akhir sekali, dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Dato’ Ismail bin Kasim.
(Yang Berhormat Dato’ Ismail bin Kasim bergerak ke meja untuk mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah)
(mengangkat tangan) Bismillahirahmanirrahim. Saya, Ismail bin Kasim, yang telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri Perlis dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan jawatan saya ini dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan taat setia… akan setia dan taat kepada negeri Perlis dan kepada Persekutuan dan saya akan menjaga, memperlindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya, Ismail bin Kasim, mengangkat sumpah bahawa saya akan setia dan taat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ganti-gantinya menurut Undang-Undang.
(Yang Berhormat Dato’ Ismail bin Kasim menandatangani Surat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan kembali ke tempat duduk)
Penangguhan DewanAdjournment
Penangguhan Dewan.
Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan ini selesailah urusan kita pada hari ini. Dewan dengan ini ditangguhkan…...
Tuan Yang Dipertua......
Dato’ Speaker, ada satu… 52 (A)… 52 kurungan… 56 (2A) iaitu Dewan pada masa semasa boleh memilih jawatan Timbalan Speaker. Adakah kita akan menyempurnakan pelantikan Timbalan Speaker pada hari ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Kita akan membuat pemilihan selepas ini. Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan ini selesailah urusan kita pada hari ini. Dewan dengan ini ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari Isnin, 23 Julai 2018 jam 9.00 pagi.
Sekian, wabillahi tawfiq walhidayah, wassalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 10.30 pagi)