Perlis · 23 July 2018

14th Assembly, 1st session, 1st meeting · 15 turns · 3,079 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Bentara

Yang Berhormat Tuan Speaker.

(Bentara menanggung Cokmar, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker berjalan masuk ke dalam Dewan)

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk.

(Kesemua ahli Dewan duduk di tempat masing-masing)

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.

Doa

Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan)

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Setiausaha Dewan

Pemasyhuran daripada Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

Bismillahirahmanirrahim, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat, sebentar nanti Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan berangkat bertitah merasmikan Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Keempat Belas. Semoga Ahli-ahli Yang Berhormat dapat mendengar dengan penuh teliti dan memahami setiap butiran titah ucapan tersebut. Seterusnya Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas akan bersidang selama dua hari mulai esok dan lusa. Insya Allah.

Ahli-ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah. Dewan ditempohkan.

(Bentara menanggung Cokmar dan diikuti oleh Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker berarak keluar dari Dewan ke Bilik Istirehat DiRaja bagi menjemput Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan untuk mencemar Duli berangkat masuk ke dalam Dewan)

(Bentara mengumumkan keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis serta DYTM Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis)

Bentara

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan berserta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda.

(Dif-dif jemputan berdiri dan memberi tunduk hormat)

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda serta Juruiring-juruiring, Bentara Dewan, Setiausaha Dewan Undangan Negeri dan YB Speaker Dewan Undangan Negeri mengambil tempat masing-masing sambil berdiri.)

(Lagu negeri Perlis dimainkan oleh pancaragam)

DYMM Tuanku Raja

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk.

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja PerlisAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja.

(Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar mengiringi YAB Menteri Besar ke Peterana DiRaja sambil membawa dulang berisi Warkah Titah Ucapan DiRaja. Setelah sampai ke Peterana DiRaja, YAB Dato’ Seri Menteri Besar mengangkat sembah dan mengambil dulang berisi Warkah Titah Ucapan DiRaja dan seterusnya mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. YAB Menteri Besar diiringi oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar kembali semula ke tempat masing-masing)

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah.

DYMM Tuanku Raja Perlis

Bismillahirrahmanirrahim. Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Segala puji-pujian ke hadrat Allah SWT, Tuhan Maha Esa lagi Maha Berkuasa yang telah menciptakan alam semesta ini dan setiap kejadian di dalamnya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Alhamdulillah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah izin-Nya, dapat kita bersama-sama pada hari ini, untuk menyempurnakan Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas. Beta mengucapkan tahniah kepada semua wakil rakyat yang telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis dalam Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu. Beta berharap semua Ahli Yang Berhormat dapat menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab demi rakyat dan negeri Perlis. Beta mahu semua Ahli Yang Berhormat berganding bahu bersama Mamanda Menteri Besar dalam usaha mentadbir dan membangunkan negeri bagi mencapai wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030. Untuk membolehkan agenda-agenda pembangunan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lancar dan berkesan, ia memerlukan suasana politik yang tenteram dan Kerajaan yang stabil. Oleh itu, Beta ingin melihat supaya suasana politik di Perlis adalah tenteram dan Kerajaan Negeri yang telah ditubuhkan adalah stabil. Hanya Kerajaan Negeri yang stabil yang boleh menjamin kelancaran program-program pembangunan demi kesejahteraan rakyat. Beta sedar bahawa Kerajaan Negeri tidak mampu untuk membangunkan negeri Perlis ini bersendirian. Ia memerlukan penglibatan dan peranan sektor swasta, khasnya pelabur. Adalah mustahil untuk Perlis menarik pelaburan besar yang berimpak tinggi dan mampan sekiranya infrastruktur yang mereka perlukan tidak ada dan Kerajaan Negeri pula tidak stabil. Kerana itu, Beta menyeru supaya semua wakil rakyat dapat bersatu hati, bekerja dengan ikhlas dan meletakkan kepentingan negeri dan rakyat di hadapan dan bukannya kepentingan diri atau orang tertentu supaya projek-projek infrastruktur utama yang telah dirancang dapat dilaksanakan segera. Lanskap politik di Malaysia sudah berubah. Negeri Perlis sudah menjadi negeri pembangkang. Kerajaan Pusat bukan lagi di bawah Barisan Nasional, tetapi Kerajaan Pakatan Harapan. Tidak dinafikan, cabaran untuk membangunkan negeri Perlis adalah lebih sukar. Ini ditambah lagi dengan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat dari segi peruntukan perbelanjaan operasi dan pembangunan. Oleh itu, Kerajaan Negeri dan setiap wakil rakyat harus berusaha keras mewujudkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat untuk memudahkan segala urusan berkaitan dengan pembangunan. Kepentingan rakyat wajib didahulukan dan diutamakan, bukannya kepentingan politik dan berpolitik sepanjang masa.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Dari segi pembangunan, kita harus mengakui negeri Perlis agak terkebelakang berbanding negeri-negeri lain yang telah maju ke hadapan. Kita bergerak terlalu perlahan, seolah-olah peranan untuk memajukan negeri ini bukan keutamaan dan tanggungjawab bersama. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini, tetapi diri kita sendiri. Oleh itu, Beta ingin berpesan agar setiap wakil rakyat dapat memainkan peranan masing-masing dengan penuh amanah dan bertanggungjawab kepada negeri dan rakyat supaya pembangunan negeri dapat dipercepatkan. Beta juga ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri bertanggungjawab dan berperanan untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang boleh membuka peluang kepada setiap rakyat untuk mencari rezeki dan memperbaiki taraf sosio-ekonomi mereka. Di masa yang sama, rakyat juga hendaklah diasuh untuk berdikari. Rajin berusaha dan kuat bekerja dan bukannya digalakkan untuk bergantung hidup kepada bantuan semata-mata. Hanya melalui penerapan sifat dan sikap positif begini yang akan menjamin kesejahteraan dan kehidupan rakyat yang lebih baik. Alhamdulillah, negeri Perlis sentiasa di dalam keadaan aman damai dan makmur. Rakyat dapat terus menjalani kehidupan harian dengan sejahtera dan harmoni. Beta menyeru agar perpaduan yang terjalin di kalangan rakyat ini terus dikekalkan. Beta ingin menzahirkan perasaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat negeri Perlis yang cintakan keamanan dan sentiasa berdiri teguh menyokong Beta sebagai Raja Pemerintah walaupun dalam suasana yang mencabar. Beta juga ingin menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pasukan keselamatan yang telah berjaya memastikan keselamatan dan keamanan di negeri Perlis ini berkekalan.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Meningkatkan Sosio-ekonomi Rakyat

Dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi negeri dan rakyat, Kerajaan Negeri telah merancang untuk mencapai wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030. Beta menyokong penuh wawasan ini dan usaha Kerajaan Negeri mengisi pencapaian wawasan ini dengan projek-projek besar yang berimpak tinggi dan mampan. Beta yakin pelaksanaan projek-projek begini akan membuka peluang yang luas untuk rakyat meningkatkan kualiti hidup. Selain itu, rakyat juga berpeluang mempelbagaikan sumber pendapatan mereka melalui penerokaan sub-sektor baharu yang bernilai tinggi. Beta juga berharap pembangunan industri hiliran dapat diteroka dengan lebih giat. Dalam hubungan ini, Beta menyambut baik usaha Majlis Perbandaran Kangar melaksanakan Inisiatif Galakan Niaga dengan memberi pengurangan kadar lesen perniagaan penjaja sebanyak 20 peratus bermula pada Februari 2018. Sebanyak 30 jenis lesen penjaja terlibat melalui inisiatif ini, bagi menggalakkan generasi muda berniaga. Selain itu, Inisiatif Galakan Suri Rumah Berniaga juga dilaksanakan dengan mengeluarkan lesen penjaja bagi membolehkan suri rumah berniaga dari rumah. Dalam masa yang sama, projek berpaksikan rakyat seperti perumahan kos rendah dan sederhana, projek pengangkutan awam, projek tebatan banjir dan pembukaan kawasan perindustrian seperti Chuping Valley Industrial Area atau CVIA yang telah dirancang harus disegerakan pelaksanaannya untuk faedah negeri dan rakyat. Walaupun projek-projek pembangunan ini adalah bersifat jangka panjang dan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata, Beta yakin ianya akan memberi impak yang signifikan kepada rakyat.

Tadbir Urus Kerajaan

Beta suka menekankan tentang pentingnya untuk mengamalkan tadbir urus yang terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Penjawat awam perlu melaksanakan tugas dengan penuh amanah, telus dan cekap, berlandaskan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan. Amalan integriti dan akauntabiliti yang sedia wujud dalam kepimpinan negeri Perlis ini hendaklah diteruskan dan ditambahbaik lagi. Peraturan dan undang-undang perlu sentiasa dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa. Perkhidmatan bermutu yang cepat dan mudah berkaitan urusan rakyat hendaklah diberi keutamaan. Dengan pendekatan ini, Kerajaan dan penjawat awam akan mendapat nama baik dan terus diyakini oleh rakyat. Beta sedia maklum mengenai pewujudan jawatan-jawatan baru dan kenaikan gred jawatan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bagi mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri Perlis. Seiring dengan pengukuhan perjawatan tersebut, adalah menjadi harapan Beta supaya semua penjawat awam dapat meningkatkan usaha dan produktiviti. Ini dapat dilakukan dengan menyumbang idea-idea yang inovatif dan kreatif bagi mencapai wawasan yang direncanakan. Kita perlu mengubah cara berfikir dan bertindak. Mudah-mudahan setiap kerja yang dilaksanakan mendapat keredhaan Allah dan diterima sebagai ibadah.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Hasil dan Perbelanjaan Negeri

Beta sedar bahawa hasil dari sumber asli negeri Perlis adalah terhad. Beta juga sedia maklum usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Negeri meningkatkan hasil untuk membiayai perbelanjaan operasi dan pembangunan negeri. Sebagai sebuah negeri kecil dengan sumber hasil yang terhad, usaha mempelbagaikan sumber pendapatan negeri perlu ditingkatkan termasuk mencari sumber baharu dan tidak hanya bergantung kepada hasil tanah semata-mata. Kelebihan sumber asli seperti mineral dolomite dan aktiviti hiliran perlu dieksploitasi sepenuhnya. Kerajaan Negeri juga perlu mengembeling kreativiti terutamanya dengan mengeksploitasi kelebihan lokasi geografi negeri Perlis. Beta yakin faktor lokasi ini, seperti Padang Besar, Kuala Perlis dan Sanglang, memberi kelebihan dan faedah besar kepada Perlis terutamanya dalam projek-projek pembangunan yang berasaskan industri perkhidmatan seperti pengangkutan, pelabuhan, logistik dan pelancongan. Sektor pelancongan yang berasaskan sukan dan pertanian juga mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan, selain dari membangunkan semula produk-produk pelancongan yang sedia ada dan terabai. Usaha meningkatkan hasil tidak akan menepati matlamatnya sekiranya ketirisan hasil tidak dapat dielakkan dan diatasi. Oleh itu, menjadi tanggungjawab Penjawat Awam di Jabatan-jabatan untuk berusaha mengutip hasil dan melaksanakan peraturan serta penguatkuasaan undang-undang kepada pihak yang ingkar. Dalam mengatur perbelanjaan negeri, langkah-langkah bagi mengurangkan defisit perbelanjaan perlulah diberi perhatian yang serius. Beta sedia maklum akan usaha berterusan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan defisit ini dengan meningkatkan hasil. Kerajaan Negeri juga hendaklah mengamalkan perbelanjaan berhemah dan memberi keutamaan kepada perbelanjaan yang mustahak dan mempunyai impak yang tinggi untuk pembangunan negeri.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Pelancongan

Pelancongan adalah satu sektor yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan lagi dan boleh membantu usaha pembangunan negeri Perlis. Bagi menyuburkan industri pelancongan di negeri ini, beberapa acara utama telah pun dilaksanakan setiap tahun seperti Pesta Angin Timur, Perlis Marathon, Malaysia Rally Of Perlis, Pesta Air Kuala Perlis dan Regatta Timah Tasoh. Beta percaya acara-acara ini mampu menjadi pemangkin dalam menyemarakkan aktiviti pelancongan di negeri ini. Dari sudut geografinya, negeri Perlis mempunyai tempat-tempat yang unik dan semulajadi seperti Gua Kelam, Wang Gunung, Bukit Pelarit, Gua Wang Burma, Bukit Chabang dan Bukit Keteri yang sentiasa menjadi daya tarikan pengunjung antarabangsa dalam aktiviti rock climbing. Justeru itu, tempat-tempat ini perlu dijaga dan dimajukan lagi sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini. Perlis telah pun menjadi tuan rumah kepada Super Fruits Valley di Chuping. Tanaman seperti buah tin, gac, lemon dan zaitun didapati sesuai ditanam di negeri ini. Tanaman ini mempunyai nilai komersial dan nilai tambah yang tersendiri dan tinggi. Begitu juga dengan ladang harumanis yang dimiliki oleh Jabatan Pertanian Negeri, FELDA dan orang perseorangan. Beta berharap industri ini dapat dimajukan lagi dan menjadi satu iconic product agro-tourism di negeri ini. Oleh kerana potensi besar sektor pelancongan, Beta menyeru agar Kerajaan Negeri dapat bekerjasama dengan pelabur dalam sektor pelancongan melalui perkongsian pintar. Ianya merupakan salah satu sektor yang memberi pulangan kepada negeri dan masyarakat tempatan. Industri kecil dan sederhana seperti jualan-jualan kraftangan, barangan industri kecil dan sederhana serta sewaan homestay turut akan berkembang. Usahasama yang dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis dan Tabung Haji Properties untuk memajukan satu projek mega yang berasaskan pelancongan di Kuala Perlis adalah suatu inisiatif yang bakal melonjakkan Kuala Perlis sebagai pusat makanan laut dan pelancongan.

Pelaburan

Beta juga mengharapkan supaya Kerajaan terus berusaha bersama-sama dengan Agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan seperti Malaysian Investment Development Authority atau MIDA untuk mencari peluang-peluang pelaburan berkualiti sama ada dari dalam atau luar Negara. Pelaburan dalam sektor industri pembuatan atau perkhidmatan akan dapat menjadi pemangkin pembangunan negeri ini. Justeru, Ahli-ahli Yang Berhormat perlu sentiasa mengadakan networking dengan semua pihak termasuk pelabur-pelabur asing dan agensi-agensi Kerajaan Pusat bagi memudahkan sebarang proses berkaitan kemasukan pelaburan ke negeri Perlis. Beta ingin menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif mesra pelabur dengan memansuhkan Bayaran Caruman Jalan bermula 1 Januari 2018. Pemansuhan ini telah mengurangkan kos perniagaan dan membuktikan bahawa Kerajaan Negeri peka dan komited terhadap usaha menarik lebih banyak pelaburan ke negeri Perlis.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Pertanian

Kerajaan Negeri diharapkan terus membantu petani dalam meneroka peluang-peluang pasaran baharu termasuk mempelbagaikan produk hiliran yang mampu menjana pendapatan tambahan bagi rakyat negeri Perlis. Infrastruktur pertanian seperti jalan ladang dan pengairan yang baik perlulah disediakan kerana akan menyumbang kepada peningkatan hasil kepada petani. Mangga Harumanis telah menjadi ikon negeri Perlis dan terkenal. Harga harumanis yang tinggi telah mengundang isu kecurian dan penipuan kualiti. Beta ingin menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Pertanian Negeri atas inovasi kod keselamatan untuk membanteras kegiatan mencuri dan menipu kualiti buah harumanis. Inovasi kod keselamatan ini telah berjaya memenangi Pingat Emas dalam Anugerah Inovasi Pertanian peringkat Jabatan Pertanian seluruh Malaysia pada tahun 2017. Semoga usaha ini akan melestarikan lagi industri harumanis yang semakin berkembang. Memandangkan keluaran harumanis semakin meningkat, wajarlah satu sistem pemasaran yang lebih sistematik dan berkesan dapat difikirkan untuk meneroka pasaran-pasaran baru di dalam dan luar negara. Kegiatan pertanian bukan sahaja boleh menjadi sumber pendapatan utama rakyat, tetapi juga boleh menjadi sumber pendapatan tambahan keluarga. Beta ingin menyarankan kepada rakyat agar ruang-ruang tanah yang kecil dan terbiar diusahakan sepenuhnya dengan tanaman super fruits yang boleh memberikan hasil lumayan.

Generasi muda dan belia

Generasi muda dan belia hari ini adalah cermin masa hadapan dalam mencorakkan pembangunan dan kemakmuran negara. Di negeri Perlis, golongan muda mewakili majoriti penduduk iaitu 66.9% bersamaan 168 ribu orang. Beta berharap golongan belia akan terus didampingi melalui program pembangunan yang inklusif dan komprehensif. Mereka perlu didedahkan dengan aspek-aspek kepimpinan, pembangunan bakat, kemahiran, keusahawanan dan kesukarelawanan. Selain itu, golongan belia juga perlu ditanam dan dipupuk dengan semangat patriotik dan cintakan negara. Dengan cara ini, sahsiah mereka akan dapat dibentuk dengan mantap dan ketahanan diri akan dapat ditingkatkan dengan lebih utuh. Beta amat bimbang dengan trend golongan muda terlibat dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka seperti merempit, penyalahgunaan dadah dan ketum dan lain-lain lagi. Diharapkan jabatan yang relevan dan agensi keselamatan dapat melaksanakan program-program pencegahan dan pembasmian yang efektif bagi mengatasi masalah ini.

Pembasmian Kemiskinan

Program membasmi kemiskinan pula hendaklah difokuskan ke arah meningkatkan kapasiti diri dengan menyediakan kemudahan pendidikan, kemahiran dan latihan. Pelaksanaan inisiatif ini diharap akan membantu golongan ini lebih berdikari dan mampu melonjak keluar daripada kancah kemiskinan. Beta percaya dengan perancangan yang tersusun dan rapi, usaha membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif. Pada masa yang sama, indikator kadar kebergantungan rakyat kepada Kerajaan juga dapat dikurangkan bagi memastikan negeri mencapai status Negeri Bandaraya menjelang 2030. Adalah menjadi harapan agar Kerajaan Pusat terus berusaha membawa Negeri Perlis bersama dalam arus perdana pembangunan negara. Secara tidak langsung, usaha membasmi kemiskinan juga dapat diatasi bersama. Pelajaran dan pendidikan adalah salah satu saluran memperbaiki taraf kehidupan. Semakin tinggi tahap kelulusan pendidikan, semakin tinggi peluangnya mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dan akhirnya dapat membaiki taraf kehidupan masing-masing. Selaras dengan matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat melalui pendidikan, pendidik perlu sentiasa bersiap sedia dengan ilmu yang mencukupi bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih efektif dan berkualiti. Beta juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis atau MAIPs di atas usaha meningkatkan kutipan dan agihan zakat. Agihan dan bantuan kepada golongan masyarakat dan institusi yang layak secara tidak langsung membantu Kerajaan Negeri dalam membasmi kemiskinan. Beta gembira MAIPs pada tahun 2017 telah memberikan peruntukan tahunan sebanyak RM4.7 juta kepada Institusi Pendidikan Islam dan RM3.2 juta kepada 2,749 orang pelajar yang mengikuti pelbagai program di institusi dalam dan luar negara. Selain itu, MAIPs juga telah menyalurkan sebanyak RM47 juta sejak tahun 2013, untuk bina baru atau baik pulih 2,425 buah rumah-rumah asnaf. Semoga usaha murni ini akan dapat ditingkatkan lagi pada tahun-tahun akan datang. Beta juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang zakat kepada negeri Perlis. Semoga sumbangan zakat kita diterima Allah SWT dan beroleh keberkatan ke atas usaha dan harta kita.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Sukacita Beta mengingatkan agar Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang bersidang supaya berbahas di Dewan yang mulia ini dengan tertib dan berhemah atas prinsip memperjuangkan dan membela kepentingan rakyat dan pembangunan negeri. Semua Ahli Yang Berhormat hendaklah mematuhi peraturan-peraturan Dewan Undangan Negeri semasa bersidang supaya berjalan dengan teratur dan sempurna, serta penuh rasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, apa juga tindakan dan perlakuan Ahli-Ahli Yang Berhormat akan sentiasa menarik perhatian umum. Peliharalah adab dan tatasusila sepanjang persidangan berlangsung. Akhir titah, Beta sentiasa berdoa semoga dengan usaha, permuafakatan, keikhlasan, persefahaman dan taat setia yang tidak berbelah bahagi di kalangan semua pihak, negeri kita akan terus dirahmati Allah S.W.T serta dilimpahi kemakmuran yang berkekalan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan ini merasmikan Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar mengiringi YAB Dato’ Seri Menteri Besar ke Peterana DiRaja bagi menyambut kembali Warkah Titah Ucapan DiRaja. YAB Dato’ Seri Menteri Besar mengangkat sembah dan menyambut kembali Warkah Titah Ucapan DiRaja daripada DYMM Tuanku Raja lalu menyerahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar seterusnya kembali ke tempat masing-masing.)

PENANGGUHAN DEWAN (Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri bangun menghadap untuk memohon limpah perkenan DYMM Tuanku Raja bagi menangguhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri)Adjournment

Speaker

Ampun Tuanku, patik pohon ampuni limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menangguhkan Persidangan Dewan.

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja mengangguk memberi perkenan)

(Yang Berhormat Dato’ Speaker kembali ke meja Speaker Dewan)

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari Selasa, 24 Julai 2018, jam 9.00 pagi.

Setiausaha Dewan

Doa oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri.

(Bacaan doa oleh YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri)

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda berangkat meninggalkan Dewan.

(Semua di dalam Dewan berdiri)

(Lagu negeri Perlis dimainkan oleh pancaragam)

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda berangkat meninggalkan Dewan didahului oleh Bentara yang menjunjung Cokmar, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker)

(Majlis tamat pada jam 11.16 pagi)