Perlis · 9 August 2023
15th Assembly, 1st session, 3rd meeting · 119 turns · 13,358 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat. Sila duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.
Doa
Doa.
(Bacaan doa oleh Penolong Setiausaha Dewan)
Pemasyhuran daripada Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis
Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.
Bismillahirahmanirahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, alhamdulillahi rabbil ‘alamin wassalatu wassalamu ‘ala asrofil anbiyaI wal mursalin wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in subhanaka la ‘ilmalana illa ma’ allamtana innaka antal alimul hakim wala hawla wala quwwata illa billahil 'aliyyil azim. Yang dihormati, Yang dikasihi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, yang dihormati Ahli-ahli Yang Berhormat, di kesempatan ini, saya juga ingin menerangkan kepada Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri, Yang Berhormati… Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang, Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri, Ahli-ahli Wakil Yang Berhormat, Wakil-wakil Rakyat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha Dewan dan jugak kakitangan, tuan-tuan, puan-puan, pemerhati dan para pengamal media sekalian. Alhamdulillah, pagi ini kita sekali dapat bersama-sama berada di dalam Dewan yang mulia ini untuk kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai menanggung amanah yang telah diberikan kepada kita semua insya-Allah. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, di kesempatan ini saya juga ingin menerangkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian tentang aturan perjalanan Mesyuarat Dewan kita pada hari ini. Mesyuarat kita akan diteruskan dengan sesi soal jawab lisan berdasarkan turutan soalan seperti yang terkandung di dalam Kertas Perintah Mesyuarat Dewan. Saya akan cuba untuk memperuntukkan tempoh masa supaya semua soalan dapat dijawab secara lisan. Tetapi sekiranya ada yang tidak sempat, jawapannya akan dikemukakan kemudian secara bertulis oleh pihak Kerajaan. Setelah itu, Dewan akan berehat sebentar dan apabila disambung semula, Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 akan dibentangkan oleh YAB Menteri Besar dan seterusnya dibuka untuk perbahasan secara dasar. Setelah itu, Dewan akan ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Soalan-soalan lisan.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera dan selamat pagi semua. soalan saya soalan nombor 1.
(Soalan 1 : Berapakah jumlah keluasan tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) di seluruh Negeri Perlis dan bagaimanakah pulangan keuntungan kepada Kerajaan Negeri?)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji, Yang Berhormat Speaker, Menteri Besar Incorporated (MBI) mempunyai 849 hakmilik yang berkeluasan 353.09 hektar. Kadar keseluruhan cukai tanah tahunan yang dikenakan adalah berjumlah RM1,600,491.10. Sejak 2015 sehingga kini, pihak MBI telah menjelaskan hasil berkaitan cukai tanah berjumlah RM7,363,565.70. Manakala terdapat baki tunggakan yang masih belum dijelaskan berjumlah RM1,978,144.95. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan saya kepada Yang Berhormat Sanglang berkaitan dengan… saya… kita mengetahui bahawa tanah milik MBI ni lebih daripada 3,000 hektar lebih, saya nak tanya 300 boleh… saya nak tanya tanah-tanah yang kita berikan kepada pemaju ataupun pengusaha, adakah mereka ini memanfaatkan sebetul-betulnya kepercayaan yang kita beri kepada mereka? Sebagai contoh, mungkin lah ada tempat-tempat yang diberi usaha tetapi mereka tidak buat, apakah tindakan kita? Adakah kita ada kenakan penguatkuasaan ataupun beri tempoh kepada mereka untuk mereka usaha dan tunjuk perubahan agar dapatan hasil mereka dan pulangan juga dapat kepada Negeri. Terima kasih.
YB ada… ada… contoh tanah mana yang MBI bagi depa tak buat? Saya tak…
Ada di CVIA, kawasan tanah ladang lembu tu.
Tanah yang kita bagi ni semua pelabur dia kena bayar premium itu yang penting sekali la. Selepas dia bayar premium apa semua baru dia boleh dapat kebenaran merancang, baru lah dia boleh usahakan tanah tu. Kalau sekiranya dia tak selesaikan yang tu kita tak bagi… kita tak bagi dia bina apa-apa ni... itu yang amalan yang kita buat lah. Terima kasih.
Soalan tambahan, terima kasih Yang Berhormat Speaker. Saya tertarik bila berkaitan dengan MBI ni dan kebetulan kemarin bila kita selesai saja Sidang DUN dulu ada kes di Kuala Perlis dan tindakan segera diambil oleh MBI. Tahniah CEO MBI kerana tindakan menghalang, memberhentikan pembinaan secara tidak sah di Kuala Perlis. Jadi, apa yang saya nak bangkitkan dan sebagai soalan saya, apakah strategi MBI sendiri tentang tanah-tanah di Kuala Perlis terutama sekali penempatan tu? Sampai bila ataupun perancangan Kerajaan untuk menyelesaikan masalah setinggan, masalah penduduk yang duduk tanpa kebenaran? Jadi, apakah strategi Kerajaan? Adakah sama ada memindahkan depa daripada kawasan tu ataupun kaedah macam mana MBI dan khususnya Kerajaan Negeri nak memastikan bahawa penempatan secara haram ini dapat dibendung? Terima kasih.
Berkenaan dengan penempaan, ada penduduk yang duduk atas tanah MBI ni kita akan kaji balik la sebab dia melibatkan banyak perkara lah, dari segi kemanusiaan, di mana depa tu nak pi duduk? Depa tu rakyat Malaysia juga, rakyat Perlis dan kita kena amik masa sikit lah untuk buat kajian dan apa tindakan yang perlu kita buat. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, soalan saya soalan nombor 2.
(Soalan 2 : Kempen kebersihan dan kawalan penyakit berjangkit sememangnya menjadi keutamaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri. Usaha ini seharusnya dibantu oleh agensi-agensi yang lain dalam Kerajaan Negeri tetapi tahap kesedaran dalam masyarakat cuma pada tahap 50% sahaja. Apakah langkah yang bakal diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat bertapa pentingnya kebersihan dalam diri dan keluarga?)
Yang Berhormat Speaker, terima kasih YB Kuala Perlis, Kerajaan Negeri Perlis telah melancarkan Pelan Strategik Agenda Perlis Bersih Sihat (2021-2025) yang telah menggariskan lima (5) teras strategik. Pelaksanaan pelan strategik ini dirangka selaras dengan program di peringkat Kerajaan Persekutuan iaitu Dasar Kebersihan Negara dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). Bagi memastikan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan kebersihan dalam diri dan keluarga, pelaksanaan pelan tindakan ini dibahagikan kepada tiga (3) fasa seperti berikut. Pertama, Fasa pembudayaan (2021-2023) menerapkan aktiviti untuk membentuk kesedaran dan meningkatkan kefahaman dan kecintaan kepada kebersihan dan kesihatan. Yang keduanya, fasa perkhidmatan dan pelaksanaan (2023-2025) mengukuhkan perkhidmatan dan pelaksanaan oleh pelbagai jabatan / agensi Kerajaan ke arah peningkatan aspek kebersihan dan kesihatan. Akhirnya dan yang ketiga, fasa penguatkuasaan (2025-berterusan) meningkatkan aspek penguatkuasaan berdasarkan undang-undang dan peraturan sedia ada oleh jabatan / agensi yang berkaitan. Sehingga Disember 2022, 71 aktiviti (merangkumi 74%) berbentuk promosi kesedaran telah dilaksanakan oleh pelbagai Jabatan / Agensi terlibat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat. Selanjutnya, baki pada 25 aktiviti (merangkumi 26%) akan dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan pelan strategik ini. Aktiviti-aktiviti seperti yang telah dirancang akan dijalankan secara berterusan seperti membersihkan kawasan secara gotong-royong yang dilaksanakan oleh Jabatan / Agensi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), NGOs dan komuniti serta program pembersihan kawasan-kawasan rekreasi oleh persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO), dan lain-lain siri ceramah, taklimat kepada institusi pendidikan, industri dan komersial. Memandangkan fasa pembudayaan akan berakhir pada hujung tahun ini dan seterusnya memasuki fasa perkhidmatan dan pelaksanaan pada tahun hadapan, kolabo… kolaborasi di antara Jabatan / Agensi dan masyarakat akan digerakkan secara berterusan melalui program-program pembersihan secara bersepadu seperti yang telah dilaksanakan melalui Operasi Bersepadu Pembersihan Kuala Perlis (OBPKP). Kawasan YB, kan? Dalam masa yang sama, program dan aktiviti turun padang yang dirancang dalam Pelan Strategik akan dipergiatkan lagi dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri serta Jabatan / Agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan bersama masyarakat di Negeri ini agar dapat mewujudkan rasa ke… kebertanggungjawaban bersama di dalam diri dan diri masyarakat. Setiap program dan aktiviti yang melibatkan masyarakat bukan sahaja berfungsi untuk tujuan praktikal pembersihan satu kawasan, akan tetapi ia merupakan satu komponen untuk mewujudkan rasa sayang dan cinta akan kebersihan di kalangan masyarakat. Sehubungan itu, bagi memastikan kesejarat… kesejahteraan Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah mengambil langkah proaktif menjadikan kebersihan sebagai antara visi Jabatan iaitu melalui pendekatan Perlis Hebat, Perlis Bersih Sihat, Peneraju Perkhidmatan Kesihatan Terbaik Negara melalui program-program seperti berikut. Pertama, pembangunan Program SEHAP… SEHAP Perlis (State Environmental Health Action Plan Perlis) yang merupakan kerjasama Jabatan-jabatan dan Agensi terlibat… terbabit untuk merangka pelan kawalan kesihatan persekitaran. Jawatankuasa ini di pengerusi oleh saya sendiri… dan didalam proses mendapatkan mandat kepada Kerajaan Negeri… Kerajaan Negeri. Penubuhan SEHAP di Negeri Perlis adalah perlu untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan kebersihan alam sekitar dan kebersihan masyarakat setempat melalui cadangan pelaksanaan Kumpulan Kerja Tematik Sisa Pepejal dan Sanitasi serta Bekalan Air; Seterusnya, yang keduanya perancangan pembangunan Program Healthy Setting yang meliputi isu kebersihan dan kesihatan. Antara model yang boleh digunakan adalah kam… adalah Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang telah menerima Anugerah Presiden bagi Anugerah Perancangan Cemerlang oleh Institut Perancang Bandar Malaysia pada 17…7… 17 Januari 2023. Yang ketiganya, Pembangunan NGO’s dan program-program berkaitan untuk memastikan kebersihan di kawasan-kawasan penempatan… penubuhan COMBI di wujudkan di kawasan komuniti untuk memastikan penduduk sentiasa mengamalkan Kebersihan Kendiri di kawasan dalam dan persekitaran rumah. Seterusnya, memasukkan isu kebersihan dalam kempen kesihatan terkini JKN Perlis iaitu Kempen Perlis Hebat, Sihat Milik Semua. Melaksanakan program gotong-royong di kawasan-kawasan wabak denggi bagi membendung penularan denggi dan menjalankan penguatkuasaan dibawah beberapa perundangan sedia ada iaitu Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit, Akta Makanan 1983 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Antara pencapaian penguatkuasaan akta-akta tersebut pula adalah seperti berikut. Pada tahun 2023, sebanyak 44… 44,694 premis telah diperiksa dan 117 kompaun dikeluarkan oleh… dikeluarkan kepada pemilik premis yang didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes sehingga 24 Jun 2023. Kompaun ini dikeluarkan di bawah Seksyen 13, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975, Pindaan 2000). Yang seterusnya, sebanyak 13 premis telah ditutup melalui Akta Pencegahan dan ka… Pengawalan Penyakit Berjangkit 88… Tahun 88… pada tahun… pada tahun 2023 sehingga 2 Julai 2023. Penutupan premis ini disebabkan oleh penularan 12 wabak penyakit dan satu wabak Penyakit Chickenpox. Sesi townhall secara virtual bersama 365 guru ta… taska, tadika dan prasekolah Negeri Perlis telah diadakan pada 22 Jun 2023. Melalui penguatkuasaan Akta Makanan, sebanyak 1775 premis telah diperiksa dan 13 premis telah ditutup kerana mempunyai tahap kebersihan yang tidak memuaskan. Tuan-tuan dan puan-puan, Yang Berhormat, program-program ni yang dirancang ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan… semua pihak yang terlibat. Semua pihak terutama Kerajaan Tempatan dan Agensi-Agensi kerajaan serta swasta perlu meneliti semua tugas dan tanggungjawab di bawah bidang kuasa masing-masing bagi membantu kebersihan di Negeri Perlis menjadi keutamaan. Setakat hari ni saya tengok dari segi sambutan dan apa… kerjasama sangat baik. Semua pemimpin dan juga komuniti juga mempunyai… perlu bersama bagi semua agensi bagi memastikan kebersihan ditangani secara menyeluruh untuk kesejahteraan warga Perlis.
Tuan-tuan dan puan-puan, mengambil kesempatan ini saya ucap terima kasih. Kelmarin sehari dok saja… kan. Hari ni ada banyak… ada juga soalan. Bagi pakai baju kuning sikit, bagi highlight bagi nampak sikit Tuan Speaker. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Alhamdulillah, kita tengok perancangan-perancangan yang dibuat oleh khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, saya nak sentuh dari segi gotong-royong lah. Pertama sekali, bila berlakunya gotong-royong maka kita nak penglibatan, kalau boleh tu semua agensi yang dijemput perlu hadir. Tak ada juga jabatan yang datang awal dijemput awal, perlu bagi komitmen yang sepenuhnya. Jadi, kita taknak sebut jabatan mana, tepuk dada tanya iman tanya selera. Bila melibatkan gotong-royong, melibatkan contohnya kes yang Aedes, nak cegah nyamuk ni, perlu pendekatan dan perlu usahasama yang cukup erat. Selain daripada kita perlu menitik berat kesedaran daripada masyarakat, jabatan Kerajaan juga perlu memainkan peranan tak mau jabatan yang dijemput awal sehari pun tak hadir, hari yang berlakunya gotong-royong baru nak mai. Jadi kita tak mau macam tu, tak pa yang lepas, lepas. Yang kedepannya, bila ada program penganjuran berkaitan dengan nyamuk Aedes, ataupun lain-lain penyakit berjangkit, jabatan Kerajaan perlu mengambil langkah untuk bersama-sama masyarakat dan juga penganjur yang menguruskan program gotong-royong. Jadi, soalan saya, apakah strategi Jabatan Kesihatan untuk menangani permasalahan nyamuk yang tak berhenti-henti ni? Kita tau memang kalau nak bagi 100% tu susah, terutama sekali longkang-longkang yang tidak diselenggara, tempat-tempat yang saya sebut kemarin, dari segi hutan dan sebagainya. Perlu dibersihkan segera. Itu penglibatan yang perlu dijalankan oleh semua agensi Kerajaan. Jadi, kalau kita tengok, tuan-tuan lalu di jalan-jalan besar, tengok ada jabatan-jabatan ada yang maaf cakap, tapi ada yang di pejabat depa pun hutan penuh di depan pejabat. Ini tindakan yang tak seharusnya berlaku. Jabatan Kerajaan perlu peka, kita tekan kepada rakyat, kepada masyarakat jaga kebersihan. Tetapi, di hadapan pejabat agensi-agensi Kerajaan masih ada semak samun dan longkang yang tak terurus. Jadi, soalan saya, saya sebut tadi… sebut tadi, apakah perancangan untuk menyelesaikan isu masalah penyakit berjangkit… sekurang-kurangnya tak 100% pun, adalah hampir 80% dia punya kesannya? Terima kasih.
Soalan tambahan, YB Speaker. Terima kasih kepada YB Speaker dan juga ADUN Pauh, yang telah memberikan jawapan. Saya nak sentuh satu perkara sahaja, perkara yang paling penting dalam kita menyusun gerak kerja ni. Come to basic, kita mesti ada pelan. Jadi saya nak tanya adakah di pihak Kerajaan Negeri mempunyai satu blueprint yang holistik untuk memastikan agenda Perlis Bersih ini disambut oleh setiap agensi dan juga jabatan-jabatan dalam Kerajaan dan sebab apa perlu blueprint secara holistik kerana kita perlu kerjasama daripada semua sepertimana yang disebut oleh ADUN Kuala Perlis tadi, maka saya bercadang untuk memberi cadangan berkaitan dengan pelan dan juga blueprint yang perlu kita rangka daripada tahun ni untuk tahun hadapan. Supaya semua agensi dan juga badan Kerajaan ni dapat bergerak sekali. Sepertimana yang disebut, di jabatan-jabatan, tepi-tepi jalan, di market yang disebut oleh Yang Amat Berhormat sebelum ni, semua tu memerlukan kerjasama. Kita tak boleh tunding, kalau kita tak buat blueprint secara holistik yang melibatkan semua pihak, dan juga mungkin dah ada tapi kami tak dapat maklumat, maka perlu ada penerangan. Kalau kita dapat kerjasama daripada semua pihak, insya-Allah benda ni akan berjalan. Dan, apabila semua pihak menggembleng tenaga, insya-Allah rakyat akan nampak dan rakyat akan bersama dengan plan yang kita buat tu. Jadi, kesedaran rakyat ini perlu untuk kita bagi kesedaran tu daripada semua pihak lah. Jadi, tu soalan saya adakah kita mempunyai blueprint secara holistik yang melibatkan semua pihak, duduk sekali bincang agenda Perlis Sihat bermesyuarat sekali? Wallahualam.
Soalan tambahan, bismillahirahmanirahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Pauh. Cumanya, saya dapati apa yang berlaku ialah tentang gejala denggi yang baru-baru ini kita tengok, salah satu mukim yang terkesan adalah mukim Utan Aji. Jadi, mukim Utan Aji ni termasuk juga di bawahnya Tambun Tulang. Selepas saya dapat berita berkenaan, saya pun check lah, apa yang perkara-perkara yang menyebabkan gejala denggi ni berlaku salah satunya, ia ada kaitan dengan perparitan. Sebagai contoh, kadang-kadang kita tengok tak ada masalah pun, daripada sudut ayaq bertakung dalam rumah, bertakung luaq rumah, dalam pasu, takdak. Tapi, disebabkan oleh masalah perparitan yang bertahun-tahun dah masalah. Sebab tu saya nak tanya daripada sudut kesihatannya dengan EXCO Kesihatan, apakah ada kerjasama dengan pihak-pihak berwajib yang mana berkait dengan perparitan ini. Kalau kata takdak, saya rasa perlu ada kan. Sebab takkan ke mana kalau tak dak, takdak orang kata apa… usahasama yang lebih bersepadu, andai kata hanya pihak kesihatan sahaja yang… yang fokus dalam bab ini, maka saya akan kata kita akan jadi setengah masak. So, saya harap ada kajian yang mendalam berkenaan perkara ini, sebab perkara-perkara berkaitan perparitan ini sebenarnya menjejaskan banyak perkara. Bukan hanya denggi, mungkin perkara-perkara lain lagi akan berbangkit selepas ini. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih kepada soalan tambahan yang dikemukakan oleh 3 sahabat saya daripada Kuala Perlis, Beseri dan… apa nama… apa… Tambun Tulang. Pertama sekali saya nak menjawab kepada Kuala Perlis. Memang, dalam perasmian Gotong Royong Mega yang dibuat baru-baru ini di Kuala Perlis, sambutan kita sebenarnya dari segi kehadiran semua di pihak jabatan dan sebagai dan penglibatan boleh kata 95%, cumanya dari segi mungkin… dari segi peranan masing-masing dengan tempoh masa yang singkat tu, yang menjadikan kita tak nampak keberkesanan tu. Tapi saranan daripada YB Kuala Perlis supaya kita menjalankan program gotong-royong ni maksud dia sebelum dan selepas penyediaan kita, supaya lebih efektif. Walau macam mana pun, baru lepas dua tiga hari ni, kita buat di Taman Jali program sambutannya sangat hebat. Cumanya, saya mintak kerjasama daripada YB-YB lain, saya tengok haritu masa YB… apa ni… apa… yang mega tu, saya tengok tak ramai penglibatan dari YB-YB kita sendiri pun. Tapi mungkin dari segi maklumat tu saya rasa sampai tak sampai tu saya tak tahu lah. Tapi saya rasa macam sampai, sebab YB yang ada sorang YB yang saya tengok program apa yang saya buat dia sentiasa ada. Walau pun kita tak jemput dia ada, tapi YB ni dia question mark, ok. Terima kasih.
Yang keduanya, saya nak respons tentang Beseri tadi, tadi saya dah ada sebut satu pembangunan program sihat, Perlis State Environmental Health Action Frontpage yang saya sendiri chair kan dalam meeting tu, memang kita akan libatkan semua YB-YB kawasan dan sebagainya. Perancangan kita ada di situ, tapi secara terperinci kalau Beseri nak kita akan bagi kemudian ni, ok.
Berkenaan dengan Tambun Tulang, soalan yang berkaitan tentang perparitan lah khususnya. Baru ni kita ucap terima kasih kepada pihak BPEN yang telah mengadakan satu bajet untuk 2024 ataupun libat urus tentang tu, termasuk saya diberi peluang berjumpa dan bersemuka dengan ketua-ketua jabatan. Tak kira lah pihak mana pun, di jabatan dan kita diberi peluang untuk memberi di kawasan kita. Sama ada, longkang ka jalan ka lampu ka, kita senarai tu kita bagi untuk pengetahuan pihak yang berkaitan. Dalam masa sama, kita juga diberi peluang untuk 5 projek mega untuk kawasan kita masing-masing. Saya… saya ingat di bahagian saya ni, berjela saya bagi, kalau berkaitan dengan JKR. Bahagian jalan… saya senarai panjang, saya bagi kepada Pengarah JKR. Jadi, cuma dalam pengetahuan dia. Jadi, begitu juga dengan apa… longkang di kawasan apa… Perbandaran, bandaran dan sebagainya… apa… kita senaraikan benda tu. Tapi, saya mengharapkan kepada jabatan-jabatan yang ada di sini, setelah kita libat urus yang dijalankan baru-baru ni, supaya tindakan segera supaya apa yang disuarakan oleh sahabat saya Tambun Tulang dapat dilaksanakan. Sepertimana yang telah disuarakan oleh YB apa… Kuala Perlis, saya tengok haritu masa libatan, perparitan isu dia yang utama adalah perparitan antaranya lah. Yang… yang mungkin kita terlepas pandang dan sebagainya untuk kita nak urus supaya dalam keadaan baik. Tapi semua benda ni, bukan kita mengharapkan Jabatan Kesihatan sahaja, saya ingat Jabatan Kesihatan ni dia rancang terlalu banyak aktiviti-aktiviti, cuma penglibatan tu saja saya mintak supaya kita maksimumkan, sama ada pihak apa awam swasta dan juga komuniti setempat. Cuma satu, daripada awal… daripada kita sepertimana yang kita sendiri tau, kita nak Perlis ni sentiasa dalam keadaan bersih dan aman permai. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Chuping.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera. YB Speaker, soalan saya soalan nombor 3.
(Soalan 3 : Berapakah jumlah petani dan pesawah yang terkesan akibat perubahan cuaca yang tidak menentu kepanasan tahun ini?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih YB Chuping, di atas soalan yang dikemukakan. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya nak menjawab soalan yang dibangkitkan oleh YB Chuping, izinkan saya untuk merakamkan ucapan terima kasih Kerajaan Negeri ke atas Perdana Menteri di atas pengumuman kenaikan harga subsidi padi. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mewakili Kerajaan Negeri Perlis dan petani-petani di negeri ini, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia di atas pengumuman kenaikan subsidi harga padi dari RM360.00 ke RM500.00 matrik tan mulai hari ini. Semoga, dengan kenaikan sedikit sebanyak ini, akan dapat membantu meringankan kos sara hidup para petani dengan kenaikan pelbagai barangan termasuk input-input pertanian, dan belanja pengurusan di sektor ladang. Yang Berhormat Tuan Speaker, berbalik kepada persoalan yang dibangkitkan, saya mohon izin untuk menjawab soalan ini bersekali dengan soalan yang nombor 4 daripada Yang Berhormat kawasan Sena.
(Soalan 4 : Iklim panas yang berlebihan menyebabkan kawasan bendang kering. Kesan perubahan cuaca ini menimbulkan keresahan rakyat terutamanya di kawasan luar MADA. Ada juga sesetengah kawasan yang menerima bantuan pantas dan laju namun ada kawasan yang agak lembab walaupun ada laporan yang dibuat oleh pentadbir kawasan. Apakah langkah-langkah yang berterusan akan dibuat oleh pihak kerajaan bagi membantu petani di kawasan yang terlibat?)
Yang Berhormat dibenarkan.
Kejadian suhu yang tinggi dan panas melampau yang melanda negara pada bulan Mac hingga Mei baru-baru ini turut dialami oleh Kawasan MADA di utara tanah air negara. Walau bagaimanapun, situasi tersebut tidak melibatkan kerosakan kepada tanaman padi dan tidak diklasifikasikan oleh MADA sebagai kejadian bencana kemarau yang memerlukan proses bancian setempat dilaksanakan. Berdasarkan rekod MADA mendapati tiada pesawah di dalam kawasan MADA terkesan yang direkodkan akibat kejadian tersebut kerana aktiviti penanaman padi bagi musim 1/2023 belum dilaksanakan secara meluas. Pembekalan air di petak sawah tidak menghadapi masalah dan situasi takungan air empangan juga masih berada dalam keadaan yang memuaskan, yakni lebih tinggi daripada paras terendah. Berikut merupakan pelan mitigasi MADA dalam menghadapi kejadian perubahan cuaca khususnya El Nino. Satu, cadangan penanaman kaedah tabur terus kering. Yang kedua, pemantauan berterusan situasi takungan air di empangan. Yang ketiga, memaksimumkan pengoperasian stesen pam. Yang keempat, membekalkan pam mudah alih kepada peladang di kawasan yang memerlukan. Yang kelima, penyelenggaraan sistem pengairan bagi memastikan kelancaran sistem pengairan. Yang keenam, operasi pembenihan awan mengikut keperluan. Yang ketujuh, bantuan dan khidmat nasihat teknikal kepada petani yang terjejas dan yang kelapan, penyelidikan yang bersesuaian misalnya pembangunan varieti yang bersesuaian dengan perubahan cuaca (tempoh jangka panjang). Namun begitu, kawasan tanaman luar MADA mengalami kesan akibat pengurangan jumlah hujan yang mempengaruhi aktiviti pembajakan tanah dan penanaman padi. Berdasarkan rekod daripada pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga Julai 2023, sebanyak 501 hektar keluasan tanaman padi melibatkan seramai 434 orang petani telah terkesan akibat dari perubahan cuaca yang tidak menentu ini merangkumi Kawasan Titi Tinggi seluas 220.56 hektar melibatkan 162 orang petani. Yang kedua, kawasan Beseri seluas 6.5 hektar melibatkan 4 orang petani. Yang ketiga, kawasan Paya seluas 134.10 hektar melibatkan 95 orang petani. Yang keempat, kawasan Padang Siding seluas 107.85 hektar melibatkan 129 orang petani dan yang kelima kawasan Bintong seluas 31.65 hektar melibatkan 44 orang petani. Untuk itu, Jabatan Pertanian telah mengedarkan sebanyak 10 unit pam air dengan nilai RM50,000.00 kepada peserta projek kelompok padi bagi tujuan pemindahan dan agihan air dari sumber air ke petak sawah. Selain itu, Jabatan juga telah melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf sistem pengairan dan saliran seperti membina baru dan menyelenggara parit ladang sedia ada, membina pintu kawalan air, membina dan memasang longkang konkrit untuk memastikan bekalan air dapat disalirkan ke kawasan tanaman padi. Jabatan Pertanian bersama-sama dengan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan juga dari semasa ke semasa telah memaklumkan kepada para petani agar sentiasa menjaga sistem pengairan petak sawah bagi memastikan sumber air ini dapat disalirkan dengan baik. Jabatan juga mengadakan perbincangan dengan pihak JPS untuk memastikan sistem bekalan air di kawasan luar MADA dapat diperbaiki dan ditingkatkan pada masa hadapan. Pihak Jabatan dan agensi memandang serius hal ini dan sedaya upaya akan sentiasa membantu para petani di kawasan Luar MADA dari masalah mendapatkan sumber air ini. Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Beseri.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih Tuan Speaker. Hari mengundi PRN dah tak lama, soalan saya nombor 5.
(Soalan 5 : Apakah perancangan Kerajaan Negeri Perlis untuk meningkatkan mutu pemain bola sepak negeri daripada seawal pra-sekolah sehingga mampu bermain secara professional bersama pasukan Perlis?)
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat Beseri. Industri sukan bola sepak negara telah berkembang seiring dengan dasar penswastaan Liga Malaysia dan Program Pembangunan Bola Sepak. (NFDP). Sokongan yang diberikan kepada Program NFDP Negeri Perlis telah membuahkan hasil dan Kerajaan Negeri sentiasa membantu dari sudut penyediaan fasiliti sukan dan sumbangan khas. Baru-baru ini dua (2) orang pemain muda Negeri Perlis daripada Akademi Tunas. Yang pertama, Ahmad Muzakif Fitri bin Muhamad dan Ameer Muadz bin Adanan telah terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Garuda International Cup Kali Ketiga di Indonesia. Antara perancangan awal Kerajaan Negeri untuk memastikan pemain bola sepak di peringkat akar umbi ini adalah cadangan untuk penganjuran Liga Tunas Perlis. Liga Tunas Perlis menyediakan platform pertandingan yang kompetitif dengan tujuan untuk memberikan permainan yang lebih baik kepada permainan bagi meningkatkan kemahiran permainan dan pengalaman pertandingan. Untuk makluman juga, Akademi Tunas di Perlis ni hanya ada dua (2) yang pertama di Kangar dan jugak di Arau dan untuk meningkatkan kemahiran dan jugak untuk meluaskan lagi pencarian bakat di peringkat tunas maka, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menubuhkan satu (1) lagi Akademi Tunas di Padang Besar. Dan di negeri ini membolehkan kanak-kanak di kawasan tersebut untuk turut terlibat. Sebelum ni, Akademi Tunas ada dua (2) sahaja di Kangar dengan Arau dan pelajar-pelajar di kawasan Padang Besar dia bergerak la mencari ibu bapa la, waris yang minat untuk hantar anak-anak ke Akademi Tunas ini. Sanggup pi ke Arau, sanggup pi ke Kangar daripada kawasan Padang Besar. Jadi, dengan komitmen yang ada, insya-Allah Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menubuhkan Akademi Tunas di kawasan Padang Besar. Sekian.
Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang…
Soalan tambahan. Terima kasih YB Speaker dan juga terima kasih kepada YB EXCO di atas jawapan yang diberikan. Alhamdulillah saya dengaq bahawa Akademi Tunas akan ditubuhkan di kawasan Padang Besar. Itu antara perkara yang saya ingin timbulkan lah kerana kita nampak di Kangar dan Arau ada, di Padang Besar ni tak dak. Jadi, bila ada di Padang Besar ni dia lengkaplah sebab Perlis pun ada tiga (3) Parlimen sahaja. Jadi bila ada tiga (3) tu jadi menarik dan juga dia akan memberi pendidikan secara menyeluruh lah. Cuma apa yang saya nak sentuh adalah berkaitan dengan pemain-pemain kita setelah dia melalui Akademi Tunas, kemudian dia pi ke sekolah menengah, dia ada dia punya akademik dia dan sampai la dia habis sekolah. Maka di situlah key point dia, dengan izin Tuan Speaker, bagaimana kita nak mengekalkan pemain-pemain dan player-player kita yang berkualiti ni supaya dia berbakti kepada Negeri Perlis? Ya, kita faham bagaimana sumber kewangan dan jugak kekangan yang kita ada, cuma kita boleh tengok bagaimana beberapa player, beberapa pemain kita yang sangat kualiti telah dilamar dan jugak berada di akademi negeri lain. Contohnya ada player yang daripada Beseri sendiri seawal umur 13 tahun telah dilamar oleh Akademi JDT. Maka itu satu kualiti yang kita ada bagi anak-anak Negeri Perlis ini dan jugak ada player-player daripada negeri lain, player-player Perlis ni daripada zaman sekolah telah dilamar oleh Selangor dan jugak Pulau Pinang. Maka kita ada kualiti player-player kita, anak-anak muda kita ada kualiti berkaitan bola sepak. Jadi, apakah kaedah Kerajaan Negeri Perlis untuk mengekalkan player-player kita ni supaya dapat kembali berbakti dan berbakti kepada Negeri Perlis dari sudut arena bola sepak negara lah. Wallahualam.
Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Beseri. Apa yang disebut oleh Yang Berhormat Beseri tu satu suasana yang benar iaitu Perlis ni melahirkan dari sudut bola sepak lah, melahirkan pemain-pemain yang mempunyai nilai yang tinggi lah, kemahiran dan jugak kebolehan-kebolehan mereka. Dan daripada Akademi Tunas, daripada darjah 1 sampai darjah 6 di peringkat sekolah rendah yang akan meneruskan karier mereka dalam bidang bola sepak, mereka akan masuk pulak ke PLD, Pusat Latihan Daerah dan PLD ni ada tiga (3), setiap Parlimen tu ada. Alhamdulillah, selesai PLD tu, selepas umur 15 tahun lebih kurang, akademik-akademik yang besar antaranya yang ada dalam negara kita ni antaranya Akademik Mokhtar Dahari, mereka akan melamar lah dan jugak JDT tu sedia maklum lah mereka akan lamar, mereka ni akan mencari bakat-bakat di PLD dan melamar lah dan saya telah pun melawat di Akademi Mokhtar Dahari, anak-anak Perlis ni ada di sana sebelum ni sebelas (11) orang, tambah lagi sorang, dua belas (12) orang. Daripada Kuala Perlis, daripada Tambun Tulang… banyak Kuala Perlis la ada lebih kurang lima (5) orang. Jadi, mereka ni bila saya tanya nak balik mai Perlis ka, depa kata tak boleh jamin YB sebab kekangan-kekangan lah. Satu, tawaran daripada Akademik yang lain, pasukan yang lebih mempunyai kewangan yang kukuh maka gaji mereka ni seumpama lah, setimpal dengan kemampuan kewangan. Dan seterusnya bila selesai di PLD tu di peringkat persatuan bola lah, Persatuan Bola Sepak Perlis ni selain daripada Liga M3 dia ada Piala Presiden dengan Belia. Jadi, daripada sini lah kita akan usahakan dan kita akan berbincang dengan pihak yang berkaitan untuk memastikan Persatuan Bola Sepak Perlis ni diuruskan dengan baik dan jugak kita akan perkasakan balik supaya Piala Presiden ni, Belia ni ada pemain-pemain yang mampu untuk wakili Perlis ni dalam Piala Presiden dan jugak Belia. InsyaAllah kita akan perkasakan benda tersebut dengan perancangan-perancangan yang kita akan selaraskan selepas ini dengan pihak-pihak yang berkaitan. Terima kasih.
Dipersilakan Tambun Tulang.
Bismillahirrahmanirrahim. Soalan saya nombor 6.
(Soalan 6 : Bagaimanakah cara pihak MPK dalam menyerahkan notis dan tindakan kepada peniaga-peniaga yang melanggar syarat perniagaan?)
Yang Berhormat Speaker, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menjalankan penguatkuasaan berdasarkan skop dan bidang kuasanya yang digariskan dalam undang-undang yang berkaitan. Setiap pelanggaran undang-undang akan dikeluarkan notis kesalahan mengikut kaedah dan tempoh yang diperuntukkan oleh undang-undang yang berkaitan sebelum tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas seperti penyitaan atau pun perobohan dijalankan. Di antara undang-undang utama yang digunapakai oleh MPK dalam menjalankan penguatkuasaan kepada peniaga yang melanggar syarat perniagaan atau berniaga tanpa lesen atau membuat binaan gerai tanpa kebenaran ialah Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan. Selain itu, dalam kes-kes di mana penguatkuasaan secara bersepadu dijalankan dengan JKR dan MADA umpamanya, agensi-agensi ini juga turut mengeluarkan notis di bawah Kanun Tanah Negara. Dari segi penyampaian notis, kaedah penyampaian yang lazim diperuntukkan oleh undang-undang adalah dengan cara seperti yang berikut. Yang pertama, menyerahkan kepada peniaga yang berkenaan atau yang kedua meninggalkannya di tempat perniagaan yang biasa atau yang akhir diketahui dalam suatu sampul atau yang ketiga mengepos ke alamat perniagaan yang biasa atau yang akhir diketahui atau yang keempat ditampal di suatu tempat yang mudah dilihat di premis tersebut. Dari segi tempoh dan bentuk tindakan pula, ia bergantung kepada undang-undang di mana tindakan penguatkuasaan tersebut akan diambil dan bentuk penguatkuasaan yang akan diambil, iaitu tindakan boleh bersifat kompaun, sitaan barangan perniagaan, perobohan gerai ataupun tindakan mahkamah. MPK sentiasa berusaha untuk menjalankan kaedah penguatkuasaan secara berhemah ke atas peniaga-peniaga dan memberi ruang atau pun tempoh yang munasabah untuk peniaga membetulkan terlebih dahulu kesalahan yang dilakukan sebelum tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil. Dalam banyak keadaan, MPK turut memberi tempoh tambahan kepada peniaga yang membuat rayuan, namun bergantung juga kepada kesesuaian mengikut situasi dalam satu-satu kes. Sebagai contoh, dalam soal penguatkuasaan ke atas gerai-gerai binaan kekal yang telah lama beroperasi di atas rizab-rizab jalan, MPK bersama-sama dengan JKR sebagai Pegawai Penyelenggara bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri mengambil pendekatan penguatkuasaan secara berfasa dan memberi tempoh masa yang lebih panjang dalam melaksanakan pemutihan ke atas gerai-gerai kekal ini. Walau bagaimanapun, bagi kes gerai kekal yang baru dibina di atas rizab jalan, MPK dan JKR mengambil tindakan yang lebih segera sebelum gerai tersebut beroperasi lebih lama dan bagi mengelakkan binaan tersebut menjadi lebih besar di kemudian hari. Ini kerana, semakin lama gerai sebegini dibiarkan beroperasi akan lebih menyukarkan tindakan penguatkuasaan diambil di kemudian hari. Begitu juga tindakan penguatkuasaan juga perlu segera diambil bagi kes-kes peniaga yang melibatkan kacau ganggu dan keselamatan awam, contohnya yang mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya. Bagi gerai-gerai yang bukan berbentuk binaan kekal, boleh dipertimbangkan untuk berniaga di tepi jalan selaras dengan dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri tetapi mestilah mematuhi aspek 3K iaitu Kebersihan, Keselamatan dan Kacau Ganggu yang ditetapkan dan hendaklah mengosongkan tapak niaga apabila selesai berniaga setiap hari. Yang Dipertua, sebelum saya mengakhiri jawapan ni, izinkan saya membaca serangkap pantun sebagai salah satu koleksi kepada pihak urusetia yang mengumpulkan pantun di sepanjang sesi kami, kemungkinan lah sampai ke empat (4) tahun nanti ni.
Bertemankan isteri menganyam raga, jiwa niaga tetap membara; Walau negeriku bebas niaga, aspek asasnya tetap dikira.
Wallahualam. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan. Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Bintong. Sedap pantunnya. Baik, apa yang sebenarnya menarik minat saya tentang… berkenaan dengan notis ini adalah beberapa perkara yang berlaku kepada beberapa peniaga. Beberapa itu bermaksud bukan satu (1), bukan dua (2), banyak peniaga. Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh peniaga-peniaga ialah yang pertama notis ini dipilih-pilih. Ada yang notis dah berbulan-bulan tak diambil tindakan walaupun bukan binaan kekal. Tapi, ada yang mana notis baru tiga (3) hari, hari-hari pi untuk robohkan ataupun untuk ganggu niaga. Takpalah, cumanya apa yang saya nak sampaikan saya rasa dah dua (2) kali saya bawak dalam perbahasan saya sebelum-sebelum ini, saya mintak untuk kita sama-sama kalau nak tegas kita tegas betul-betul. Kalau kita nak lembut, kita lembut dengan semua. Ini bukan saya kata pada siapa-siapa cumanya ini perlu sebab apa orang di luar, kita negeri kecik. Orang di luar, peniaga-peniaga di sana, di luar dia nampak kedai dia ja kena, kedai sebelah tak kena. Kedai hujung tak kena, kedai tengah kena. Jadi saya nampak dekat sini ada loop hole, dengan izin, kelompongan. Jadi saya mintak kalau boleh pihak yang berkaitan, pihak berwajib, kita boleh bertegas namun untuk kita bertegas itu mesti ada risiko. Dan kita boleh berlembut, tapi lembut kita jangan berpilih-pilih. Lembut pada semua. Consideration is a need, dengan izin, cumanya janganlah sampai orang bersuara, ‘’Pasaipa kedai saya ja kena, pasaipa kedai hujung tu tak kena?’’. Bila kita kata dia dok atas longkang, aih kedai tu atas longkang, sebab tu saya kata saya faham kita baru lebih kurang lapan (8) bulan, cuma saya harap untuk kita laksanakan apa-apa sekali pun kita perlu ada sedikit consideration, dengan izin. Terima kasih.
Terima kasih Tambun Tulang dan saya kira apa yang dibangkitkan oleh Tambun Tulang itu sebahagian daripada pandangan-pandangan yang cukup positif dan membina untuk kemajuan negeri dan jugak pihak yang terlibat khususnya MPK dan insya-Allah, faktor kemanusiaan yang disebutkan tadi tu, kita kena upgrade lah soal integriti, soal ketegasan, berhemah dalam menjalankan… ketika menjalankan tugas. Semuanya insya-Allah kita akan memberikan peringatan-peringatan, memperingatkan kepada kakitangan-kakitangan yang terlibat supaya ada perkembangan yang baik, yang memberi imej yang baik kepada rakyat. Insya-Allah, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Bismillahirrahmanirrahim, Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.
(Soalan 7 : Mohon nyatakan perkembangan hasil dan projeksi semasa berkaitan suatu tabung yang pernah diwujudkan iaitu Tabung Sekolah Agama Perempuan?)
Terima kasih Yang Berhormat Kayang, terima kasih Yang Berhormat Speaker. Tabung Dana Wakaf Pembinaan Sekolah Menengah Agama (Perempuan) Al-Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al-Maad) ditubuhkan pada tahun 2013… 10 tahun dah… oleh Yayasan Islam Perlis bertujuan mengumpul dana wakaf bagi membina sebuah Sekolah Agama (Perempuan) Al-Maad 2 bagi mengasingkan pelajar perempuan. Pada mulanya, cadangan pembinaan sekolah ini adalah di Lot 203, Mukim Sungai Adam, Mata Ayer, Perlis. Kutipan telah dijalankan di semua masjid serta jabatan-jabatan kerajaan dengan mendapat kebenaran khas daripada MAIPs. Namun begitu, Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Islam Perlis Bilangan 1 Tahun 2018 bertarikh 16 Januari 2018 telah mengambil keputusan untuk mengubah bentuk pembangunan yang dicadangkan kepada pembinaan blok bangunan tambahan di Sekolah Menengah Agama Al-Maad atas faktor-faktor berikut. Kos pembinaan sebuah kompleks sekolah yang semakin meningkat, dianggarkan berjumlah RM30 juta pada tahun 2018 oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis. Yang kedua, kadar kutipan yang amat perlahan antara punca utama sekolah ini tidak akan dapat dibina dalam masa terdekat. Baki terakhir yang telah dibentangkan pada mesyuarat tersebut adalah sebanyak RM2,334,351.39. Jumlah ini adalah pencapaian kutipan selama lima (5) tahun dari 2013 hingga 2018. Projek pembinaan blok bangunan tambahan di Sekolah Menengah Agama Al-Maad, Arau akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis setelah menerima arahan khas daripada Kerajaan Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis Bilangan 128/2022 bertarikh 17 Ogos 2022. Anggaran nilai kos semasa adalah berjumlah RM2.7 juta. Jabatan Kerja Raya Perlis telah memaklumkan bahawa proses perolehan dijangka akan bermula pada bulan September 2023. Untuk pengetahuan Yang Berhormat dan semua, ubah… apa ni orang kata… batalkan pembangunan Sekolah Agama Perempuan ini telah dihebahkan di semua masjid sebelum ini dan kepada penyumbang-penyumbang yang banyak kita hubungi secara terus kepada mereka memaklumkan bahawa kita tak dapat meneruskan dan wakaf yang mereka lakukan itu kita ubah ke se… bangunan bilik darjah di… di Al Maad lelaki ini lah. Dewan dan juga kelas lah bangunan kelas yang sekarang ni dalam proses dan Insha-Allah seperti yang saya sebut tadi September 2023 ni akan bermula. Cumanya duit ada RM2.3 juta, kos semua 2 perpuluhan… ja. Saya berharap Yang Berhormat akan menyumbang untuk mencukupkan RM2.7 juta tersebut dan semua lah yang hadir ini. Wallahu a’lam, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Bismillahirahmanirahim, Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Sanglang. Terima kasih atas respons diberikan dan penjelasan tersebut. Insya-Allah kita sama-sama menyumbang, insya-Allah. Menarik berkaitan perkara ini ada berkaitan dengan isu wakaf-wakaf daripada orang ramai adalah satu perkara yang baik. Ya, alhamdulillah kita melihat agensi kita telah menguar-uarkan berkaitan konsep wakaf ini menyebabkan ramai orang ingin turut bersama dalam menyertai dalam buat amal ibadat, bukan sekadar untuk dunia bahkan untuk ukhrawi, untuk akhirat mereka. Di sana kita melihat ada banyak mungkin tanah-tanah mahupun premis ataupun rumah yang diwakafkan atas nama majlis tapi hingga hari ini ada yang terbiar begitu sahaja. So, ada dibangkitkan oleh segolongan masyarakat bahawa perlu buat sesuatu kerana niat daripada asal usul tok nenek moyang depa tu wakaf untuk dimanfaatkan digunakan, tetapi sehingga hari ini dibiarkan begitu sahaja, tidak manfaatkan oleh pihak Majlis. So, kita harap bahawa perkara ini dapat diambil berat dan dititikberatkan, lihat semua premis-premis yang diwakafkan ini dapat kita manfaatkan sebaiknya untuk sumbangan buat mereka yang telah pergi.
Dan yang keduanya berkaitan dengan soal bagaimana kita melihat konsep wakaf ini telah memberikan satu kesan yang baik antaranya adalah dari sudut kita telah mengimarahkan majlis-majlis ilmu dengan begitu baik perkembangan semasa kita dan perkara yang sama kita nak sebut bagaimana untuk kita memastikan bahawa majlis-majlis ilmu yang kita uar-uarkan, yang kita buat di Negeri kita ini supaya kita dapat mengurangkan jurang antara kesalahfahaman antara perkara yang mungkin timbul berkaitan perkara-perkara percanggahan pendapat dan sebagainya. Antara topik-topik yang kita kemukakan sebolehnya kita kurangkan jurang tersebut, jangan menimbulkan topik-topik yang menyebabkan ada percanggahan di kalangan pihak satu lagi dengan amalan Negeri kita yang secara bersederhana ini. Seeloknya kita menilai daripada segala sudut supaya perkara-perkara yang kita bawa, yang kita kongsikan kepada masyarakat itu memberikan kesenangan kepada semua dan semua boleh terima dengan baik. Tidak ada unsur kesalah fahaman dan seumpama dengannya. Sekian, wallahu a'lam.
Terima kasih atas pandangan tambahan daripada Yang Berhormat dan dia tak ada kena mengena dengan hat soalan tadi pun, saya tak jawablah. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 8.
(Soalan 8 : Apakah panduan dan rancangan Kerajaan Negeri dalam usaha ke arah pelaksanaan sistem parkirnya yang lebih terurus, tidak kira untuk sistem parkir yang diswastakan atau di bawah pengurusan PBT?)
Yang Berhormat Speaker, dan terima kasih kepada YB Indera Kayangan di atas soalan yang dikemukakan. Yang Berhormat Speaker, penyediaan parkir atau tempat letak kereta, letak kenderaan adalah tertakluk kepada piawaian perancangan merangkumi prinsip-prinsip berikut. Yang pertama, sistematik dan mesra pengguna, susunan tempat letak kenderaan hendaklah teratur, dipaparkan maklumat yang jelas, mudah difahami dan di lokasi yang mudah mendapat perhatian. Saiz lot tempat letak kenderaan pula hendaklah munasabah, terutamanya lot untuk OKU. Yang kedua, kemudahsampaian, penyediaan tempat letak kenderaan perlu memberi penekanan terhadap aspek kemudahsampaian di mana lokasi serta laluan masuk dan keluar perlu berada di tempat yang strategik dan… dan dalam jarak yang sesuai untuk semua pengguna. Yang ketiga, estetik dan keindahan, tempat letak kenderaan hendaklah diindahkan dengan elemen lanskap yang bersesuaian. Reka bentuk lanskap adalah bergantung kepada jenis tempat letak kenderaan, lokasi dan keluasan kawasan. Dan yang keempat, keselamatan, tempat letak kenderaan hendaklah direka bentuk dengan mengutamakan keselamatan, bukan sahaja kepada pengguna malah kepada struktur fizikal kenderaan tersebut. Reka bentuk ruang, persekitaran dan peletakan tempat letak kenderaan yang strategik boleh mengelakkan risiko kemalangan, kecurian, kerosakan harta benda dan kesesakan juga perlu diberi keutamaan. Aspek pencahayaan lampu yang mencukupi dan terang serta alat keselamatan sokongan lain seperti CCTV, tanda laluan keluar kecemasan (emergency exit) dan butang kecemasan yang bersesuaian bagi tujuan keselamatan juga perlu disediakan mengikut kesesuaian. Dari segi sistem pengurusan parkir pula, MPK telah mengambil inisiatif melaksanakan parkir pintar (smart parking) bagi kawasan-kawasan parkir di bawah seliaan selaras dengan Pelan Digital Perlis. Pelaksanaan Smart Parking ini merangkumi 2 Fasa di mana Fasa… Fasa yang pertama telah pun bermula pada bulan Mei tahun ini melalui pelaksanaan kaedah bayaran parkir tanpa tunai (cashless) di kawasan parkir berpalang Arked Niaga dan Gapura Square, Padang Besar. Di antara ciri-ciri pembayaran tanpa tunai yang disediakan sekarang termasuklah bayaran menggunakan kad debit, kad kredit, kad Touch N Go dan aplikasi e-wallet Touch N Go. Ciri-ciri yang sedang dikaji untuk ditambahbaik pada masa hadapan ialah ciri-ciri parkir pintar (smart parking) seperti kaedah Pengecaman Nombor Plat Kenderaan (Licence Plate Recognition) dan aplikasi pembayaran parkir yang khusus bagi keseluruhan kawasan parkir MPK. Bagi Fasa 2 pula akan melibatkan pelaksanaan sistem parkir pintar dan tanpa tunai di kawasan-kawasan parkir terbuka atau pun tidak berpalang di seluruh Negeri Perlis bagi menggantikan sistem kupon bergores manual yang sedia ada. Pelaksanaan sistem parkir pintar ini akan merangkumi aspek kemudahan aplikasi telefon pintar berintegrasi yang mesra pengguna, sistem pembayaran parkir tanpa tunai dengan transaksi mudah alih, penyediaan susun atur petak parkir secara terancang dan sistematik serta pemantauan dan analisis dalam talian secara menyeluruh. Pelaksanaan Fasa 2 kini di peringkat penilaian teknikal dan dijangka dapat dimulakan secara berperingkat mulai bulan Oktober 2023.
Sopan santun adat melayu, senyum terukir bila bersua; Semangat MPK takkan layu, mensistemkan parkir menguntungkan semua.
Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Soalan tambahan satu. Boleh saya tahu, berapakah…
Maaf kita ada 8 lagi soalan yang perlu dijawab. Kita ada masa hanya lebih kurang 25 minit. Maaf ya. Dipersilakan Guar Sanji.
Terima kasih YB Speaker, soalan saya soalan nombor 9.
(Soalan 9 : Nyatakan jumlah GLC/GLIC yang ada dan bagaimana kerajaan akan memastikan keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah GLC/GLIC ini, terutama untuk merapatkan jurang dalam sektor sosio ekonomi dan bagaimana GLC/GLIC dapat mengukuhkan lagi peranan mereka dalam memberikan impak yang optimum bagi memastikan kesejahteraan berterusan dan inklusif kepada penduduk Negeri Perlis?)
Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji, terima kasih Yang Berhormat Speaker, bilangan GLC yang ada di Perlis adalah dua (2) iaitu Menteri Besar Incorporation (MBI) dan Syarikat Air Perlis Sdn. Bhd. GLC ini ditubuhkan bagi menguruskan harta dan kepentingan Kerajaan Negeri serta menjalankan aktiviti-aktiviti berunsur perniagaan yang di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Manakala bilangan Badan Berkanun Negeri Perlis adalah empat (4) yang terdiri daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis , Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan Yayasan Islam Negeri Perlis. Kerajaan Negeri bekerjasama erat dengan GLC/GLIC dalam mempertingkatkan sosioekonomi dan menarik pelaburan baharu samada domestik atau antarabangsa ke negeri ini. Dalam pada itu, GLC dan GLIC ini juga menubuhkan syarikat-syarikat kumpulan bagi membantu menjayakan misi dan visi pembangunan ekonomi dengan lebih efisien, teratur dan berstrategi. Bagi memastikan semua perancangan dan pembangunan yang dijalankan adalah selari dengan hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri dan Persekutuan, GLC dan GLIC sentiasa berkomunikasi dan menjalinkan hubungan erat dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta Pihak Berkuasa Tempatan. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, soalan nombor 10.
(Soalan 10 : Belia dan beliawanis adalah penentu kepada hala tuju pembangunan negara. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam memperbanyakkan kawasan dan tempat untuk golongan belia dan beliawanis menjalankan aktiviti bersukan selain memperbanyakkan penganjuran aktiviti bersukan dan apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam memberi kefahaman kepada golongan muda berkaitan amalan dan kefahaman Ahli Sunnah Waljamah?)
Yang Berhormat Speaker, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan keperluan dan kehendak golongan belia yang aktif terutama terhadap kegiatan bersukan. Pada masa kini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri telah bertanggungjawab menyelia 22 jenis kemudahan sukan. 18 infrastruktur kemudahan sukan terletak di Kompleks Tuanku… Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra dan bakinya masing-masing satu di Kompleks Sukan Air Timah Tasoh, dua di Sungai Batu Pahat dan satu di Perlis Skate Park, Kangar. Kesemua kemudahan sukan ini berada dalam keadaan yang kondusif dan boleh digunakan untuk tujuan latihan dan pertandingan. Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan Sukan Negeri 2022 hingga 2026 telah menggariskan satu inisiatif Fasiliti Sukan Inklusif dan Berimpak Tinggi di bawah Teras Perlis Bersukan. Inisiatif ini memberikan penekanan kepada projek pembangunan infrastruktur kemudahan sukan secara bina baharu dan naik taraf. Antaranya, peruntukan RM3.8 juta diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi tujuan pembangunan bola… pembangunan padang sintetik di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri, 1 Parlimen, 1 Padang Bola Sintetik. Yang kedua, penyediaan Dana Sukan Komuniti pada Julai 2023. Penambah, yang ketiga penambahbaikan fasiliti sukan merangkumi kolam renang di Kompleks Tuanku… Sukan Tuanku Syed Putra dan gelanggang futsal. Yang keempat, peruntukan RM0.4 juta diluluskan melalui Yang Berhormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan bagi menaik taraf Litar Motocross Sungai Batu Pahat, Kangar. Yang Berhormat Timbalan Menteri juga turut akan mempertimbangkan permohonan menaiktaraf tapak parkir di Sg. Batu Pahat untuk dijadikan ‘Drift Course’. Penganjuran Liga Super Perlis 2023 yang telah diiktiraf sebagai Liga M5 daripada Amatuer Football League (AFL). Dalam aspek kefahaman kepada golongan muda berkaitan amalan dan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, pelbagai program telah dilaksanakan merangkumi, yang pertama, seminar membela akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah siri 1 dan 2. Yang kedua, Program Raudhatul Huffaz kepada pelajar-pelajar sekolah. Yang ketiga, Program-program Ih’ya Masjid di seluruh Negeri Perlis. Yang keempat, pelaksanaan bon berkelakuan baik terhadap anak remaja dengan menjalankan aktiviti kebajikan selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Chuping.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 11.
(Soalan 11 : Berapakah jumlah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Tokoh-Tokoh Individu (NGI) yang melibatkan diri dalam hal membantu menyelesaikan permasalahan berkaitan anak-anak muda belia?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, jumlah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar di Pejabat Pertubuhan Pendaftaran… Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di Negeri Perlis adalah sebanyak 145. Dari bilangan tersebut, terdapat 75 persatuan yang mewakili badan gabungan di bawah Majlis Belia Negeri, 11 pertubuhan bercawangan dan 59 persatuan tunggal. Semua NGO ini terlibat secara langsung dalam pembangunan dan menyelesaikan isu belia. Bagi mengiktiraf peranan NGO dalam pembangunan belia, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) mewujudkan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat negeri, seterusnya membawa calon-calon ini ke Anugerah Perdana Belia Negara. Seramai 44 orang calon telah dipilih di anu… ke anugerah ini sejak tahun 2021 hingga 2023. Mengikut pecahan berikut… 2021, 12 orang. Yang kedua, 2022, 14 orang. Dan yang ketiga, 2023, 18 orang. Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. YB Speaker, soalan saya nombor 12.
(Soalan 12 : Kelesuan belia berpersatuan semakin terasa. Kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya keinginan golongan belia untuk berpersatuan kembali aktif. Kesan dari kelesuan ini persatuan- persatuan belia juga hanya tinggal nama. Apakah langkah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Perlis agar belia-belia di seluruh pelusuk Perlis kembali mengaktifkan persatuan-persatuan belia yang satu waktu dulu berkembang-biak di Negeri Perlis?)
Alhamdulillah, 3 kali minum air hari ni. Bagi… tuan… Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi memupuk kesedaran berkenaan kepentingan berpersatuan dalam komuniti… dan mengelak isu kelesuan belia, Kerajaan Negeri dengan sinergi Jabatan / Agensi di Perlis melaksanakan beberapa program. Yang pertama, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Negeri Perlis yang mengadakan program #ros_care. Program ini bersifat libat urus kepada kumpulan sasaran dan 10 program telah diadakan sehingga bulan Jun 2023. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) menyediakan peruntukan dana program melalui sistem Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD). ROY Wilayah Utara juga akan melaksanakan beberapa siri Bengkel Tadbir Urus bagi memberi khidmat nasihat kepada Persatuan-Persatuan Belia tentang perlaksanaan serta tata kelola Mesyuarat Agong Tahunan serta Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD). Dan pengiktirafan kepada persatuan belia yang aktif melalui penarafan bintang MYKD dan Anugerah Perdana Belia Negara. Sekian, terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan sebentar dan akan disambung pada pukul 11.00 pagi.
(Persidangan ditempohkan sementara pada jam 10.13 pagi).
(Persidangan disambung semula pada jam 11.00 pagi).
Ahli-ahli Yang Berhormat sila duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang. Dipersilakan Yang Berhormat Beseri.
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 13.
(Soalan 13 : Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu yang strategik demi meningkatkan tahap ekonomi orang Melayu di Perlis?)
Terima kasih Yang Berhormat Beseri. Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan Tanah Simpanan Melayu atau Tanah Rizab Melayu (TRM) adalah tanah yang disimpan untuk diberi hak milik kepada orang Melayu. Bagi melindungi dan menjaga kepentingan tanah orang Melayu, Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) telah dikuatkuasakan pada tahun 1913 dan terpakai di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Enakmen ini telah dipinda dan diterbitkan semula pada tahun 1935 dan dikenali sebagai Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri Bersekutu Bab 142 (NMB Bab 142). Bagi negeri Perlis, kawasan Tanah Rizab Melayu diistilahkan sebagai Kawasan Lengkongan Simpanan (KLS) kerana melindungi dan menjaga kepentingan tanah orang Melayu dan orang Siam. Negeri Perlis mengguna pakai Enakmen lingkungan Simpanan 1353 dan merujuk kepada enakmen tersebut, tanah-tanah yang terkandung di dalam lengkongan adalah tanah yang dirizabkan di bawah rizab Melayu dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang di bawah enakmen ini. Untuk makluman, data keluasan KLS yang telah diberi hak milik sehingga tiga puluh, 31 Disember 2021 adalah seluas 31,009.05 hektar. Kegunaan tanah KLS terbahagi kepada tiga kategori iaitu pertanian, pembangunan dan perindustrian. Kegunaan tanah yang paling tinggi masih tertumpu kepada kategori pertanian iaitu seluas 29,780.93 hektar (96.0%), diikuti dengan kategori pembangunan dengan keluasan 662.56 hektar (2.2%) dan seterusnya kategori perindustrian dengan keluasan 565.56 hektar (1.8%).
Pembangunan tanah Rizab Melayu di negeri Perlis, dalam pembangunan sesebuah bandar baharu, pelaburan daripada luar negeri atau daripada syarikat-syarikat besar dan ternama sangat dialu-alukan untuk mencipta peluang-peluang baru terutamanya peluang pekerjaan. Bagi merealisasikan pembangunan tersebut, kaedah tukar ganti tanah rizab Melayu dijalankan selaras dengan Perkara 89 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan dan juga Keputusan MMKN Bil 9/2013 berhubung garis panduan menukar ganti tanah dalam Kawasan Lengkongan Simpanan Melayu iaitu tanah yang diganti hendaklah menepati kriteria tersebut. Yang pertama, mempunyai pemilik pendaftar yang sama. Yang kedua, mempunyai jenis pegangan yang sama. Yang ketiga, mempunyai kategori tanah yang sama. Yang keempat, mempunyai syarat nyata yang sama dan yang kelima, terletak di dalam zon perancangan atau kegunaan tanah yang sama. Mengambil contoh Kangar Jaya, kaedah semasa secara tukar ganti tanah ini dilihat dapat menyelesaikan pembangunan baharu di kawasan tersebut dan turut memberikan impak kepada tanah-tanah di sekelilingnya dari segi peluang ekonomi dan juga peningkatan nilai pasaran semasa tanah tersebut. Hal ini juga menyebabkan pembangunan tanah-tanah rizab Melayu di sekitar pembangunan ini lebih berdaya saing dan turut mendapat limpahan ekonomi daripada pembangunan baharu ini.
Dasar baharu dan penambahbaikan kepada dasar tukar ganti tanah. Berdasarkan situasi semasa dan bagi menarik lebih ramai pelabur membangunkan tanah rizab Melayu, di samping mengemaskini dasar sedia ada iaitu swapping, Kerajaan Negeri melalui Jabatan
Tanah dan Galian Negeri Perlis telah sedang meneliti cadangan untuk membenarkan tanah rizab Melayu ini hanya dipajak dalam tempoh maksimum 60 tahun oleh bukan Melayu atau syarikat-syarikat yang ingin melabur untuk membangunkan tanah rizab Melayu dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri di mana setelah tamatnya tempoh pajakan, tanah tersebut akan kembali kepada pegangan rizab Melayu melalui tetapan di dalam sekatan kepentingan. Ini bermaksud, tanah ini masih di dalam pegangan Melayu dan akan kekal dalam pegangan Melayu selamanya disamping mengekalkan tanah yang diganti melalui kaedah swapping serta meningkatkan peratusan pemilikan tanah rizab Melayu di masa hadapan. Cadangan ini dilihat akan memberikan impak pembangunan positif dan memastikan Negeri Perlis sebagai destinasi tumpuan para pelabur luar negeri dan syarikat ternama terutamanya di tanah rizab Melayu yang sering menghadapi isu berbangkit bagi pembangunan baharu di Negeri Perlis. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Bismillahirrahmanirrahim. Soalan saya nombor 14.
(Soalan 14 : Apakah kriteria yang diambil kira oleh pihak hospital dalam menentukan keutamaan pesakit yang berdaftar di unit kecemasan?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, semua pesakit yang hadir mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital KKM seluruh Malaysia akan disaring menggunakan protokol saringan standard Malaysian Triage Scale. Secara umumnya pesakit akan disaring sebanyak dua kali sewaktu di Jabatan Kecemasan iaitu Saringan Primer dan Saringan Sekunder seperti berikut. Saringan Primer. Saringan Primer adalah saringan cepat dan ringkas yang merangkumi pemerhatian kritikal terhadap pesakit di kawasan penurunan pesakit (drop zone) oleh pegawai-pegawai terlatih. Pesakit akan melang… melangkau proses saringan sekunder sekiranya keadaan pesakit tidak stabil seperti kesukaran bernafas, kurang tahap kesedaran, atau mengalami pendarahan yang banyak. Pesakit akan terus dimasukkan ke zon kritikal. Saringan sekunder, pesakit yang dikelaskan sebagai stabil setelah saringan primer akan menjalani, menjalani beberapa penilaian awal tanda vital seperti ujian tekanan darah, kadar nadi seminit, paras oksigen di dalam darah, kadar pernafasan, suhu badan dan tahap kesakitan. Pesakit juga akan menjalani ujian glukosa dalam darah dan ECG bergan… bergantung kepada aduan utama dan keadaan pesakit.
Pesakit kemudiannya akan dikelaskan mengikut zon, mengikut Zon Kritikal (Merah), Zon Separa Kritikal (Kuning) dan Zon Tidak Kritikal (Hijau). Hijau ni dia bernasib baik selalu, berdasarkan hasil penilaian di saringan sekunder. Semasa pesakit berada di Kaunter Saringan Sekunder, rawatan awal dan asas akan diberikan kepada pesakit bergantung kepada aduan utama dan keadaan pesakit. Pesakit akan diberikan rawatan kesakitan sama ada berbentuk ubat biji atau ubat suntikan, rawatan awal untuk menghentikan pendarahan kecil seperti balut, balutan dan pemasangan atau kain anduh akan dilakukan. Pesakit yang diklasifikasi sebagai kritikal di letakkan di Zon Merah dan akan dilihat dan dirawat oleh para perawat dengan serta-merta. Pesakit yang diklasifikasi separa kritial (Zon Kuning) akan dilihat dalam masa 20 minit manakala pesakit yang diklasifikasi tidak kritikal (Zon Hijau) akan dilihat dalam masa 90 minit. Walau bagaimanapun, untuk pesakit kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, wanita mengandung yang mengalami pendarahan tetapi stabil, dan pesakit mental akan diberi nombor yang berlainan untuk diberikan keutamaan berbanding pesakit yang tidak kritikal yang lain.
Saya berikan contoh-contoh tahap-tahap tadi. Contoh Kategori Pesakit Kritikal (Zon Merah) akan dilihat dan dirawat segera kerana memerlukan rawatan resusitasi dan intervensi. Satunya, jantung terhenti… jantung terhenti, ni tak ni lagi ni… tidak bernafas, kesukaran bernafas yang teruk, tahap kesedaran yang rendah memerlukan bantuan pernafasan, mangsa kemalangan, trauma, wanita mengandung yang mengalami renjatan akibat pendarahan, serangan angin ahmar yang teruk serta mengalami tahap sedaran yang rendah, serangan jantung, serangan sawan, patukan ular berbisa, keracunan yang teruk, luka terbakar yang teruk.
Contoh Kategori Pesakit Separa Kritikal yang akan dimasukkan dalam Zon Kuning, tahap kesedaran yang rendah dan memerlukan bantuan oksigen, mengalami kesukaran bernafas disebabkan serangan asma, serangan jantung, mangsa kemalangan, muntah atau batuk berdarah yang banyak, kesakitan yang teruk, pening, demam Denggi, pesakit yang mempunyai gejala kerana mengalami keracunan, pesakit kanak-kanak yang mengalami demam yang tinggi, kesukaran bernafas atau sawan.
Manakala ketika Zon Hijau seperti muntah, cirit-birit yang mengalami, sakit perut yang akut, tindak balas alergi yang tanpa kesukaran bernafas, kepatahan pada anggota badan, demam, wanita mengandung yang mengalami pendarahan, pesakit mental yang dibawa oleh anggota polis dan pesakit asma. Tuan Speaker, gout ni tak disebut dalam ni.
Perli ya.
Okay, sekian, terima kasih.
Soalan tambahan. Terima kasih banyak pada Yang Berhormat Pauh, kekanda saya. Saya sebenarnya nak bagi sedikit kredit pada seluruh jentera Kesihatan di Negeri Perlis sebenarnya sebab saya difahamkan saya sendiri pun pernah turun ke padang, saya turun melihat sendiri, di mana saya tengok tahap kecekapan pengurusan hospital di Perlis. Hari ni saya tengok banyak kemajuannya cuma mungkin kalau boleh ada sedikit penambahbaikan yang mana saya tengok waktu menunggu… waktu menunggu di kecemasan ini, saya tengok masih lagi ada hiccup, dengan izin, ada hiccup di situ yang mungkin kita boleh tengok dan kita perhatikan. Sebab apa? Sebab ada beberapa patient yang saya tengok… dengan izin, ada beberapa pesakit yang saya sendiri pun melawat bersama dengan YB EXCO hari itu, dan kita tengok bilangan penunggu di luar itu, begitu ramai dan mungkin andai ada cara yang mungkin kita boleh bagi sedikit keselesaan kepada mereka yang di luar. Dan saya tengok banyak sebenarnya perubahan, daripada tak berbumbung di luar sekarang dah ada berbumbung, dah ada tempat duduk, dah ada ini. Cumanya mungkin kita boleh itulah… macam segi time lapse, dengan izin, masa menunggu itu kita dapat tingkatkan lagi supaya apa, supaya rakyat merasa selesa sebelum nak pi masuk jumpa doktor tu. Jadi saya ucap tahniah dan terima kasih banyak. Assalamualaikum.
Terima kasih YB Tambun Tulang. Kebetulan hari tu dia bersama saya. Ada satu kes tentang apa… adalah orang dia. YB Tambun Tulang ni baguih, orang kampung orang kawasan dia masuk pun dia contact saya pi tengok. Tapi alhamdulillah, seperti yang dimaklumkan tadi memang kita ucap terima kasih, dan tahniah kepada Jabatan Kesihatan. Dia ada masa-masa tertentu yang climax tu dia memang ramai, tapi kadang-kadang dia ada berlaku apa… selesa. Tapi bagaimanapun kita… apa… ambil maklum tentang tu sebab kita sentiasa… Jabatan Kesihatan sentiasa ke arah untuk mensejahterakan rakyat untuk segala kemudahan kita perlu dan ada kes-kes yang telah… yang diantaranya ada juga YB-YB bagi respons apa-apa… input-input kepada saya dan saya sampaikan kepada Jabatan Kesihatan untuk pembaik… apa… untuk tindakan seterusnya. Terima kasih banyak pada sahabat-sahabat yang telah membantu saya khususnya dan Jabatan Kesihatan. Terima kasih.
Soalan tambahan boleh Yang Berhormat? Okay, terima kasih Yang Berhormat Speaker. Saya juga tertarik dalam isu berkaitan dengan Hospital Tuanku Fauziah. Jadi, setakat la ni kita tengok… apa nama… perkhidmatan yang diberikan oleh hospital ni cukup memuaskan. Cuma perlu beberapa penambahan lagi dari segi apa… layanan dan juga kadang-kadang tu orang-orang kampung ni biasa lah bila ke hospital, dia bukan nak ikut sangat cara kita, dia ikut cara dia. Tapi budi ataupun cara… cara penilaian ataupun cara layanan seharusnya diberi lebih penekanan kepada orang-orang kampung yang tak faham apa istilah dia punya peraturan.
Yang keduanya berkaitan dengan, dengan apa nama ni… hospital ni yang kita hari ni mengalami kekangan dari segi parking kenderaan yang seharusnya Kerajaan Negeri ataupun pihak EXCO Kesihatan sendiri harus memikirkan kaedah macam mana kita nak selesaikan isu parking. Boleh kita cari jalan ataupun Kerajaan Negeri… Kerajaan Negeri perlu mencari satu kaedah untuk memudahkan… apa nama… tempat-tempat meletak kenderaan yang sempurna. Dan kalau kita tengok di depan tu dulu boleh tengok, boleh… boleh letak. Tapi kadang-kadang ada masanya Majlis Perbandaran dan juga polis sendiri tak membenarkan peletakkan itu. Jadi, mengalami masalah yang agak sukar untuk orang-orang pi ziarah orang sakit.
Yang seterusnya di kesempatan ini saya minta izin daripada Yang Berhormat Speaker, tadi masa saya nak buat soalan tambahan saya ingat tak cukup masa. Jadi, saya minta sikit ja lebih kurang seminit, dua minit, berkaitan dengan kita perlu bagi penekanan kepada isu anak-anak muda di Perlis yang dari segi bidang permotoran… apa nama… kita cukup menghargai seorang anak muda Adiq… saudara Adiq kerana beliau merupakan ikon bidang permotoran NSR. Jadi, seharusnya Kerajaan Negeri panggil dia untuk jadikan dia sebagai ikon dalam… apa nama… bidang-bidang permotoran dan telah… beliau telah mengharumkan nama negeri Perlis. Itu adalah satu benda… budak yang ada potensi besar dan dalam keadaan hari ni, kita perlu tarik orang-orang muda untuk bersama dengan terutama sekali Kerajaan yang kita bina hari ini iaitu Kerajaan Perikatan Nasional. Sebab bukan lama, empat tahun lagi kita akan menghadapi pilihan raya. Jadi, orang muda perlu diketengahkan.
Dan juga satu lagi orang muda juga perlu diberi penekanan ataupun diberi kefahaman tentang ahli sunnah wal jamaah. Ahli sunnah wal jamaah ni terbuka luas. Jadi, saya ucap terima kasih pada apa… pengurusan Kerajaan Negeri dan juga yang berhor… Yang Berbahagia Dato’ Mufti kerana menganjurkan apa… Perkampungan Sunnah yang telah mendapat suatu… apa nama… tarikan dan juga pujian daripada seluruh negara. Jadi, perkara-perkara macam ni kita kena buat suatu yang akan menjadi suatu kelaziman ataupun sekurang-kurangnya setahun, tiga empat kali kita boleh buat sebab orang dok suka, orang hairan dan ada bertanya apakah Perkampungan Sunnah dan apabila kita panggil depa mai, baru depa paham Perkampungan Sunnah adalah untuk mempertahankan… apa nama… fahaman ahli sunnah wal jamaah. Dan dikesempatan ini juga saya nak ucapkan terima kasih kepada MAIPs. MAIPs memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu orang-orang kampung kita. Borang kuning ni semua macam yang saya cakap kelmarin, semua orang cop borang sebab nak pastikan mendapat bantuan daripada MAIPs. Cuma hari ni satu perkara yang perlu dikaji oleh MAIPs berkaitan dengan amil-amil yang dilantik, kerana amil ni saya rasa susah untuk cop borang, yang mudah lagi ahli-ahli yang berhormat untuk cop borang. Khususnya saya nak habaq di Kuala Perlis, ada masa dia, dia bagi dua jam ja cop borang. Orang kampung ni nak cop borang dia bukan kira, waktu maghrib ka tengah malam ka dia akan pi. Jadi kalau masa yang kita bagi lewat seminit pun tutup pintu pagar. Jadi, MAIPs kena pastikan amil yang dilantik itu betul-betul memainkan peranan untuk membantu orang. Lulus tak lulus tu nombor dua. Yang penting pendekatan amil perlu selari dengan hasrat MAIPs. MAIPs ini satu institusi yang telah berjaya membantu orang ramai, orang-orang susah di Perlis. Jangan kita jadi celaru, jangan kita… apa nama… jangan kita letakkan sikap amil yang boleh memburukkan keadaan MAIPs. Jadi saya minta Kerajaan Negeri dan juga MAIPs pastikan amil-amil jangan ikut, jangan dok berkira masa sangat. Satu minit depan rumah tutup pintu pagar dah, ini apa cerita? Kalau boleh buatlah keputusan yang terbaik, ambil borang sangkut. Tapi bukan semua, saya fokus di Kuala Perlis bukan semua. Ada empat buah masjid yang bermasalah… dua masjid… dua masjid yang cukup bermasalah. Jadi, saya minta tolong pihak amil, apa nama… pihak MAIPs tolong pastikan amil-amil ni bagi perkhidmatan yang terbaik kepada orang kampung agar dapat cop dengan sempurna. Tak mau cop hari ni tak pa, esok. Tapi bagilah layanan yang sempurna. Jadi saya rasa terima kasih Yang Berhormat Speaker. Jadi saya rasa ucapan saya pun dah… soalan-soalan saya dah pun abis. Tapi Cikgu Megat tau kalau kemenyan ni kalau satu bukit kalau tak cucuh dia tak berbau, hari ni walaupun ada sebesar ibu kaki, kalau kita cucuh penuh satu kampung. Sekian, terima kasih.
Suratan jalan raya YB EXCO nak jawab kita bagi masa sikit okay.
Okay, terima kasih. Saya nak jawab yang isu hospital, parking tadi.
Kemenyan… kemenyan nak jawab? Kemenyan.
Kemenyan tu memang Tuan Bakar dia selalu cucuh, kadang-kadang dia ni… bau dia pi cari orang takdak pun. Okay terima kasih YB Kuala Perlis, isu parkir tadi. Sebenarnya parkir di hospital kita mencukupi. Saya setelah bersama dengan Pengarah Kesihatan Negeri, kita panggil, cuma di waktu puncak… di waktu puncak memang kita hadapi sedikit masalah, cuma… tapi cukup. Cumanya orang ramai ataupun kita punya pelanggan, dia lebih cenderung masuk ke tempat dalam tu… tempat dia tak mau jalan jauh, sedangkan saya nak ucapkan terima kasih kepada JPS kerana memberi kebenaran untuk kita buat parkir di sebelah su… su… apa… terusan Sungai Kechor. Saya tak pasti sungai apa tu… Kechor kot na? Kechoq ha… lebih kurang gitu lah. Tepi tu kan… jadi orang tak suka parking situ, dia rasa macam jauh nak kena jalan, dia suka masuk dalam kawasan dalam hospital tu untuk parking. Jadi, walau macam manapun kita mencukupi. Cuma, dalam jangka panjang kita sedang berusaha dan buat kajian bersama dengan… kita di pihak di… sedang apa… meneliti jangka panjang, kita cuba nak buat macam mana yang terdapat di Hospital Selayang, parking bertingkat tu, tapi memerlukan kos yang tinggi, dan mungkin juga akan melibatkan kos yang dikenakan pada rakyat kita lah. Walau macam manapun, kita ke arah tu. Sekian, terima kasih. Yang hat motor dengan apa tu… saya ingat YB Azmir akan jawab tu, kalau saya jawab… boleh? YB nak jawab? Silakan.
Seterusnya, dipersila YB Azmir.
Yang Berhormat Speaker, saya keluar sat ni, jadi saya tak dapat ni… saya ambil maklum lah apa Kuala Perlis sebut ni, insya-Allah.
Yang Berhormat Tuan Speaker…
Takpa Kuala Perlis, Adiq tu sepupu saya, jangan takut. Adiq tu sepupu saya. Insya-Allah saya boleh telepon dia, saya habaq teruih kat dia.
Okay.
Okay, ya… ya. Terima kasih Tuan Speaker. Saya ingin tujukan satu soalan tambahan yang tadi tu, berkenaan dengan parkir kereta. So, kita ten… dengar tadi Bintong pun memaklumkan banyak kerja yang perlu dilakukan, penyelenggaraan dan sebagainya untuk parkir kereta. Saya ingin tahu apakah jumlah perbelanjaan yang digunakan setiap tahun untuk penyelenggaraan dan kerja… kerja parkir, dan juga saya ingin tahu berapakah purata kutipan parkir ini? Sebab kita nak tau sama ada parkir… kadar dan bayaran parkir boleh menjadi satu pendapatan sekurang-kurangya untuk penyelenggaraan dan tidak menghauskan sumber kegunaan kewangan PBT. Yang kedua adalah parkir yang bersistem digital automatik tu. Berapakah sasaran yang kita nak buat dan apakah perbelanjaan yang perlu digunakan? Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Indera Kayangan. Indera Kayangan ni background dia Matematik, komputer. Dia sangat suka kepada angka. Jadi, saya ni main-main angka ni nak kena jawapan bertulis Yang Berhormat. Jadi mohon izin lah, saya akan jawab dengan bertulis lah.
Dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 15.
(Soalan 15 : Bilakah perancangan ke arah memastikan alam sekitar indah dan sejahtera dapat direalisasikan dengan mengenakan hukuman dan denda yang lebih tinggi terhadap pencemar alam sekitar bagi menangani pencemaran alam yang berleluasa?)
Harini dia jujuh sikit Tuan Speaker, harini jujuh, kelmarin tak jujuh. Terima kasih.
Durian luruh dah la ni.
Ha… tu lah rumah YAB, kebun YAB. Yang Berhormat Tuan Speaker, dan terima kasih kepada Kayang. Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) amat memandang serius sebarang insiden pencemaran. Sebagai sebuah negara membangun, kita sedang berdepan cabaran yang besar dalam memastikan pembangunan lestari yang mampan yang amat memerlukan tindakan secara proaktif dan holistik oleh semua pihak. Pihak JAS sedang meneliti dan meneruskan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] bagi menangani insiden pencemaran secara berkesan. Secara amnya, pindaan ke atas Akta 127 akan dijalankan secara berfasa seperti berikut, ada banyak orang dok respon tadi, kira maknanya tak tidur lah, okay terima kasih banyak. Satu, pindaan Fasa 1 melibatkan elemen kompaun dan penalti bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil ke atas pelaku dan pesalah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar. Pindaan Fasa 1 ini sedang dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku tahun keempat tahun 2023. Keduanya, pindaan Fasa 2 yang akan memperkasakan Akta 127 secara menyeluruh masih sedang diperhalusi dan diteliti bersama pakar undang-undang dan alam sekitar. Berdasarkan penelitian Kementerian, draf pindaan Fasa 2 perlu melibatkan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan pemegang taruh yang berkaitan seperti agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak penggerak projek pembangunan dan pihak industri supaya dapatannya adalah menyeluruh. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 16.
(Soalan 16 : Apakah usaha Kerajaan Negeri Perlis dalam mempertimbangkan syarat yang lebih mesra rakyat dalam memberikan kebenaran untuk permohonan pecahan lot untuk geran berongkol?
Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan, terima kasih Yang Berhormat Speaker. Saya tadi duduk google cari berongkol ni, berongkol… bahasa Perlis berongkoi. Ni berongkol rupanya ada dalam kamus, dalam Kamus Dewan tu berongkol ni berikat-ikat, dia duduk sekali… geran berongkoi nama banyak satu geran, tu maksud berongkol na. Saya ingat tadi bersekongkol, lama tinggai sekolah. Buat masa ini, permohonan melibatkan pecah bahagian (pengeluaran hakmilik berasingan bagi tuan punya bersama) mengguna pakai peraturan yang ditetapkan di dalam seksyen 140 hingga 145 Kanun Tanah Negara (KTN). Bagi memudahkan urusan pecah bahagian, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah bersetuju menurunkan kuasa kepada Pengarah Tanah dan Galian Perlis untuk membuat keputusan berhubung permohonan pecah bahagian tanah kategori pertanian yang berkeluasan kurang satu (1) ekar yang sebelumnya kelulusan adalah terletak pada Pihak Berkuasa Negeri Perlis, Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Itu makluman. Terima kasih.
Terima kasih. Semua soalan lisan telah dijawab oleh Pihak Kerajaan
Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023Bill
Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 dibaca bagi kali pertama.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon menyokong.
Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023. Bacaan Kali Pertama.
Yang Berhormat Speaker, menurut proviso kepada peruntukan Peraturan 56 Dewan, saya mohon kebenaran untuk membaca Rang Undang-Undang ini bagi kali kedua pada hari ini juga.
Yang Amat Berhormat dibenarkan.
Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023. Bacaan Kali Kedua.
Yang Berhormat Speaker… Yang Berhormat Speaker, Saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang yang bernama “Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023” serta memansuhkan Enakmen Air 2011 [Enakmen 17].
Silap… dok ingat Yang Berhormat Speaker pulak. Yang Berhormat Speaker, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis adalah jabatan yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sungai dan anak sungai seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Air 2011 [Enakmen 11]. Tiga walau bagaimanapun, terdapat halangan dalam pelaksanaan Enakmen Air 2011 tersebut secara menyeluruh disebabkan oleh faktor kekangan dan kekurangan dari segi tafsiran yang diguna pakai, liputan aktiviti berkaitan sumber air yang terhad serta peruntukan undang-undang yang terbatas. Ini menyebabkan JPS tidak dapat menjalankan fungsi dan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Yang keempat, sejak berkuat kuasa Enakmen Air 2011 tersebut, Enakmen ini belum pernah dipinda atau ditambah baik berbanding negeri-negeri lain seperti Kedah, Melaka, Kelantan, dan Terengganu yang telah meminda Enakmen Air negeri masing-masing. Kelima, JPS telah mengadakan beberapa sesi perbincangan termasuk Bengkel Semakan Pindaan Enakmen Air 2011 Negeri Perlis pada Ogos 2022 dan Bengkel Pemurnian Semakan Pindaan Enakmen Air pada September 2022 yang telah dihadiri oleh Yang Berhormat Penasihat Undang-undang Negeri Perlis dan wakil dari pelbagai agensi. Yang keenam, hasil dari bengkel tersebut, didapati terlalu banyak pindaan yang perlu dilaksanakan. Oleh yang demikian, suatu Enakmen baharu telah dicadangkan bagi menggantikan Enakmen Air 2011 tersebut. Secara umumnya, terdapat tiga asas utama pertimbangan yang telah mendorong kepada keputusan pindaan tersebut iaitu, yang pertama, pengemaskinian undang-undang berkaitan penjagaan dan pemeliharaan serta pemuliharaan sumber air di dalam Negeri Perlis. Yang kedua, penambahan liputan aktiviti berkaitan sumber air di bawah kawalan JPS dan yang ketiga peruntukan proses perlesenan dan kutipan hasil berkaitan sumber air. Enakmen yang dicadangkan ini dijangka membolehkan JPS merancang dan menguruskan sumber air dengan lebih holistik serta dapat mengambil tindakan yang berkesan terhadap isu pencemaran sumber air. Yang Berhormat Speaker, Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk membuat peruntukan berkenaan pengurusan sumber air bersepadu di Negeri Perlis dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Bahagian Satu Enakmen yang dicadangkan memperkatakan perkara-perkara permulaan di Fasal satu dan dua. Bahagian Dua memperuntukkan bagi penubuhan Majlis Sumber Air Negeri dan Fungsinya di Fasal tiga hingga enam. Bahagian Tiga mengandungi peruntukan-peruntukan berhubung perlantikan Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri, fungsi dan perwakilan pengarah dari Fasal tujuh hingga sembilan. Manakala Bahagian Empat Enakmen yang dicadangkan mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan kuasa dan tanggungjawab Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri dari Fasal 10 sehingga 29. Bahagian Lima Enakmen yang dicadangkan mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan pelesenan aktiviti yang berkaitan sumber air dari Fasal 30 hingga 33. Seterusnya Bahagian Enam Enakmen yang dicadangkan mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan prosedur permohonan, kelulusan dan rayuan untuk lesen dari Fasal 34 hingga 46. Bahagian Tujuh Enakmen yang dicadangkan mengandungi peruntukan berkaitan kuasa yang berkaitan dengan penguatkuasaan, penyitaan, penangkapan oleh orang yang berkenaan dan sebagainya di Fasal 47 hingga 62. Bahagian Lapan Enakmen yang dicadangkan mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan dan penalti dari Fasal 63 hingga 67. Manakala Bahagian Sembilan Enakmen yang dicadangkan mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan perkara am dari fasal 68 hingga 72. Akhirnya Fasal 73 Bahagian Sepuluh Enakmen yang dicadangkan mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan pemansuhan Enakmen Air 2011 [Enakmen 17] dan pengecualian yang terpakai. Dengan penjelasan itu Yang Berhormat Speaker, saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon menyokong.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 dibuka untuk perbahasan secara dasar. (Tiada perbahasan daripada Ahli-ahli)
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 dicadang untuk dibaca bagi kali kedua. Ahli-ahli yang setuju, sila angkat tangan. Ahli-ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan. (Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju) Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali kedua sekarang.
Rang Undang-Undang bernama “Suatu Enakmen untuk memperuntukkan bagi pengurusan sumber air bersepadu di negeri Perlis dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya”.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya minta persetujuan supaya Rang Undang-Undang ini dibawa ke dalam Jawatankuasa. Ahli-ahli yang setuju, sila angkat tangan. Ahli-ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan. (Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju) Dewan bersidang secara Jawatankuasa. (Bentara menurunkan cokmar)
Fasal 1 hingga Fasal 73 dan tajuknya.
Fasal 1 hingga Fasal 73 dan tajuknya dibuka untuk perbahasan.
(Tiada perbahasan daripada Ahli-ahli)
Fasal 1 hingga Fasal 73 dan tajuknya menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini hendaklah disetujukan. Ahli-ahli yang setuju, sila angkat tangan. Ahli-ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)
Fasal 1 hingga Fasal 73 dan tajuknya menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 dimaklumkan kepada Dewan sekarang. Ahli-ahli yang setuju, sila angkat tangan. Ahli-ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)
Dewan bersidang semula.
(Bentara menaikkan cokmar).
Yang Berhormat Speaker, sukacita saya memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang Enakmen Perhutanan Negara (Pindaan) (No. 2) (Pemakaian) 2023 telahpun ditimbang di dalam Jawatankuasa dan dipersetujui. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 dicadangkan untuk dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan. Ahli-ahli yang setuju, sila angkat tangan. Ahli-ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)
Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan.
Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023. Maka diperbuat Undang-Undang ini oleh Dewan Undangan Negeri Perlis seperti berikut, Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023.
Penangguhan Dewan.
Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, semua Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan serta agensi yang hadir, rakan-rakan media, para pegawai dan kakitangan serta petugas…
Yang Berhormat Speaker, mohon pencelahan Guar Sanji. Guar Sanji minta laluan sebelum penangguhan. Nak tangguh dah kan, nanti sat bagi peluang kami bersuara sikit.
Nak bersuara apa?
Baik, terima kasih. Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, terima kasih banyak kerana memberi laluan kepada saya mewakili barisan yang ada di sebelah saya ini. Alhamdulillah syukur kepada hadrat Allah Subhanahu Wa Taa’la kerana kita telah pun bersidang dua hari, cuma apa yang saya nak sebut di sini ialah nampak percanggungan lah persidangan kita hari ini selama dua hari kerana kami ni tidak diberi satu masa untuk kita berbahas. Kerana kalau kita lihat dua hari ini soalan jawab dia nampak cempera. Kadang-kadang bila soalan pertama dia tanya, soalan kedua dia tanya dia bangun, kemudian EXCO bangun jawab dalam keadaan jawapan yang tidak kemas lah, tidak berpuas hati. Jadi, kita mesyuarat ni lebih kurang tiga, empat bulan sekali apa salahnya kalau kita lanjutkan masa, ambil sehari dua tambah untuk kami juga ambil peranan menyampaikan hasrat kami di luar sana dan juga beri pandangan yang untuk kita menambah baikkan kerja-kerja yang tidak terbuat ataupun terbengkalai. Jadi, sebab itu apa yang disampaikan kita harap dalam persembahan dua hari ni kita nampak bersimpang siur. jadi harapnya jabatan, ketua-ketua yang berkaitan mengambil point-point yang penting untuk kita bertindak dalam masa hadapan. Dan harapannya selepas ini berilah peluang kepada kami ADUN-ADUN sini untuk berbahas, untuk kami menyatakan apa yang penting bersama-sama membangunkan Negeri Perlis ini. Terima kasih.
YAB nak jawab?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Saya ingat tak pa lah kalau kita panjang kan sikit lagi. Nasi tak sampai lagi, satgi tak habis pula. Jadi, untuk Yang Berhormat Speaker, saya nak ucapkan terima kasih banyak la, semua la bagi YB SS, YB LA, YB PKN, Ketua-ketua Jabatan Negeri, Persekutuan, Pejabat Setiausaha Dewan, Pejabat MB, pengamal media, tak kira siapa la yang ada dalam Dewan ini lah yang dengar ucapan ini, terima kasih banyak. Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian yang cukup sempurna, saya rasa tak ada masalah walaupun kita sama parti tapi boleh bagi teguran, bagi pandangan kepada kami di barisan EXCO yang ada di sebelah sini lah. Dan di kesempatan ini juga, sepertimana yang kita sedia maklum, yang berbahas panjang pasai Tahun Melawat Perlis tahun depan, tahun 2025, kebersihan yang kita titik beratkan. Yang ni kita semuanya kena sensitif la. Jadi, komuniti dalam masyarakat kita mesti gerakkan juga dan saya rasa tak ada masalah pun kalau kita sidang seumpama ini, memang kalau nak cari kepuasan kita tak puas la sebab kita tak boleh nak keluarkan hasrat kita secara rasmi dalam Dewan, tapi sebenarnya kita boleh berjumpa lah kita boleh berjumpa pada bila-bila masa. Saya dan juga barisan EXCO, begitu juga dengan Ketua-ketua Jabatan yang ada di Negeri kita ini boleh kita berjumpa menyampaikan hasrat apa yang kita nak sampaikan. Tak semestinya kita tembak dalam Dewan ni saja, boleh berjumpa dengan kami bila-bila masa nak sampaikan pandangan, teguran dan sebagainya. Sebenarnya saya terbuka… terbuka. Dia tak pernah kata kalau orang nak jumpa saya nak bagi teguran apa kena pi pejabat, saya tak pernah sebut. Di kedai kopi pun boleh, di mana pun boleh, insya-Allah. Saya akan ambil cakna lah apa yang disampaikan, insya-Allah. Jadi, itu ketidakpuasan YB-YB nak bercakap dalam Dewan ini kita hormati lah.
Apa pun kita harap boleh kerap mai pejabat sebab kita tak dak masalah apa pun. YB Indera Kayangan pun kita harap boleh mai berjumpa, kerap lah mai pejabat sebab kita tak ada masalah apa pun. YB Indera Kayangan pun selalu mai boleh berjumpa, tak ada masalah. Saya pun bagi tau dekat masyarakat orang Cina, depa nak tubuh jawatankuasa nak berhubung terus dengan saya. Saya kata YB Gan adalah sebahagian daripada wakil rakyat yang ada, berhubung dengan dia untuk dia sampai hasrat apa yang nak disampaikan kepada saya oleh masyarakat Cina dan masyarakat-masyarakat lain. Tapi depa nak tubuh juga, saya rai lah. Depa kata nak jemput saya untuk himpunan di Chiang Khor, tiba-tiba pindah pi Kedah depa tak habaq dekat saya, saya akan jumpa depa pasal apa hampa tak habaq dekat aku, hari tu hampa ajak aku. Jadi, saya sedih lah… saya nak jumpa dengan Cina, tapi tak boleh.
Tapi apa pun untuk Tahun Melawat Perlis ni saya kena jaga wushu… apa… wushu… wushu… saya ingat YB Indera Kayangan ada sesuai untuk menggerakkan wushu dengan rambut dia, dia dandan apa semua sikit, dia boleh main pedang, main pisau apa semua, insya-Allah. Dan semua YB-YB EXCO ni kena jaga kebudayaan. YB Razali, gendang… gendang keling. Minta maaf tersebut keling. YB Wan Badariah, Awang Batil. YB Megat, Rambong Siam… sesuai dengan dia. YB Izizam, tomoi. Saya suruh dia pakai seluar panjang, jangan pakai seluar pendek. YB Fakhrul, silat… silat… silat pulut ka, silat warisan tak tau lah. YB Azmir, hadrah. Kalau sapa nak tau hadrah, jumpa Ustaz Azmir dia boleh. Saya wushu… uii syok wushu. Saya pun tak tau pasal apa depa bagi dekat saya wushu, sebab YB Indera Kayangan baik dengan saya kot dia boleh wushu. Itu kebudayaan yang kita nak kita nak hidupkan sebab masa silang budaya tu dia… kita… Negeri Kelantan bawa macam-macam persembahan kebudayaan, kita ada tarian saja. Tarian saja… tu saja yang kita ada. Jadi, nampak lekeh sangat lah. Selepas ni, kalau sekiranya… YB Azmir tak boleh cari kumpulan hadrah, dia kena hadrah sendiri. Kita tengok EXCO Agama duk berhadrah.
Itu yang saya nak sebutlah. Jadi, tu hat pandangan saya lah. Jadi, YB-YB yang ada ni boleh mai jumpa dengan saya. Ada juga YB yang selalu mai berjumpa nak bincang masalah, nak minta pandangan apa semua, nak bagi pandangan kita terima… seadanya lah.
Jadi, saya ni sekali lagi nak ucapkan terima kasihlah khususnya YB SS… YB Guar Sanji kata selamat datang… selamat datang apa dia orang Perlis, selamat kembali ke Negeri Perlis. 30 tahun… 32 tahun dia duduk di luar, dia selamat kembali ke Perlis untuk berkhidmat untuk Negeri Perlis ni, insya-Allah. Jadi, kepada… saya ingat tak terlalu awal lah saya nak ucap selamat bersara kepada Yang Dihormati Ketua Polis Negeri yang tak lama dah saya rasa dia pun nak pencen dah, seronok kawan dengan dia, sebab dia orang baik. Dia bagi khidmat yang baik kepada Negeri Perlis ni. Jasa dia sampai bila-bila kita akan ingat. Tadi orang puji… yang apa ni… Pengarah Kesihatan, dia pun seorang yang hebat… semua hebat, semua hebat. Masalah fahaman politik masing-masinglah, nak ikut kami ka, tak mau ikut ka terpulang. Tapi pukul 8 sampai pukul 5 mungkin ada yang sampai pukul 10 malam buat kerja lah. Semalam BPEN buat kerja sampai pukul 10 malam, saya tengok-tengok depa hantar Whatsapp, tahniah lah dan terima kasih kepada BPEN. Kerana berusaha menyediakan apa yang patut ada pada kami sampai pukul 10 malam. Jadi, depa yang hantar tu saya pun teringat juga lah saya nak lena dah di rumah yang depa duk buat kerja lagi. Saya mai lah, saya ingat YB SS apa ada, sebab awal gambar tu ada gambar dia, saya pun mai hantar. Nak hantar nak hantar hat lekeh-lekeh tak padan kot YB SS ada, saya hantar Kentucky Fried Chicken, habis buah rambutan saya ambil di dusun saya tu saya bawak mai semua. Cucu saya kacau, saya ambil lain, kata hari ini hat tu kita bagi dekat BPEN. Tahniah BPEN dan terima kasih banyak membantu kami menguruskan kepada semua lah yang terlibat dalam Persidangan dua hari ni insya-Allah. Sempurna, nak… nak laporkan perbincangan yang berlaku dalam pentadbiran… apa tu.. lebih baik kita berjumpa bersemuka daripada kita… kita tembak dalam Dewan ni. Sebab kita sekarang ni dah Kerajaan, bukan dulu pembangkang. Jadi, insya-Allah itu saja lah yang saya nak sampaikan apa yang patut saya sampai, wallahualam. Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat, saya pun sama… bagi ruang dan masa kepada tuan-tuan semua kerana saya tengok jam pun belum pukul 12. Saya takut makanan tak sampai, satgi tuan-tuan balik. Jadi, saya bagi ruang kepada Yang Berhormat Guar Sanji. Jadi, saya bagi ruang Yang Amat Berhormat untuk menjawab dan mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan yang terlibat yang sudi hadir dan menunggu sehingga akhir Sidang Dewan kita pada hari ini. Jadi, saya merakamkan jutaan terima kasih yang tak terhingga lah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, rakan-rakan media, Setiausaha Dewan dan kakitangan yang telah bertungkus-lumus selama dua hari untuk menjayakan Sidang Dewan kita pada kali ini. Jadi, pada Ahli Yang Berhormat semua, Dewan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kelak. Wallahualam, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 11.52 pagi).