Sabah · 21 September 2021

16th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 5 turns · 5,019 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSabah's own site lists 22 sitting days; 35 more of the 16th Assembly are recovered from the Wayback Machine, and some are missing. Appointed members are not in the election register. Written answers are not published.

Permasyhuran Dari Tuan Speaker

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat pagi.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan hari ini adalah selaras dengan Artikel 21(1) Perlembagaan Negeri Sabah di mana Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri akan merasmikan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas. Sebelum saya menempohkan Dewan ini untuk membolehkan saya menjemput Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri masuk, Dewan saya ingin memaklumkan kepada semua Ahli Yang Berhormat dan pegawai-pegawai kerajaan yang berada dalam Dewan yang mulia ini untuk mematuhi perkara tersebut: 1.

Tiada pergerakan keluar/masuk semasa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan; dan 2.

mematikan telefon bimbit masing-masing atau menukarkan kepada mode senyap bagi mengelakkan sebarang gangguan.

Dengan ini, Dewan ditempohkan.

Tuan Speaker didahului oleh Bentara Mesyuarat dan Setiausaha Dewan keluar dari Dewan untuk menjemput Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri masuk dalam Dewan.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri berjalan masuk ke Dewan mengikut aturan seperti yang berikut:

Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada TYT Juruiring Tentera (ADC kepada TYT) Bentara Mesyuarat: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah: Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sila duduk.

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua NegeriAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

UCAPAN DASAR KERAJAAN OLEH TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH TUN DATUK SERI PANGLIMA (DR.) HAJI JUHAR BIN DATUK HAJI MAHIRUDDIN BERSEMPENA DENGAN ISTIADAT PEMBUKAAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEENAM BELAS PADA 21 SEPTEMBER 2021 Bismillahir rahman nirrahim.

Assalamuaalaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun dalam Dewan yang mulia ini sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

2.

Tahun 2021 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), 2021-2025 merupakan tahun paling mencabar bagi negeri Sabah.

Ketidaktentuan ekonomi dan cabaran-cabaran di peringkat global dan nasional telah memberi impak negatif terhadap perkembangan ekonomi dan sosial negeri ini. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun 2020 bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, bukan sahaja telah merancakkan pertumbuhan sektor-sektor ekonomi dan aktiviti-aktiviti perniagaan di negeri ini, malah turut menyebabkan pengurangan pendapatan serta kehilangan pekerjaan pada skala yang besar di kalangan rakyat.

3.

Sungguhpun demikian, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana asas-asas sosioekonomi di negeri Sabah masih lagi stabil dan terkawal walaupun diuji dengan pelbagai cabaran. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah atas pelbagai usaha yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan keamanan, kemakmuran dan kestabilan ekonomi serta politik di negeri ini, khususnya ketika Sabah berhadapan dengan pelbagai cabaran getir akibat pandemik COVID-19.

4.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Ismail Sabri bin Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan dan Kerajaan Negeri Sabah akan berterusan demi manfaat dan kesejahteraan bersama.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 5.

Bagi mengurangkan kesan negatif pandemik COVID-19 kepada kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi secara berperingkat, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan beberapa pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi serta menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas. Ini termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah, dana Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah dan pembukaan sektor-sektor ekonomi secara berfasa oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan pula telah melaksanakan pelan pemulihan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan

Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Saya optimis usaha-usaha tersebut akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi di negeri kita Sabah.

6.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas perhatian, sokongan dan segala bantuan yang diberikan kepada negeri Sabah, bukan sahaja dalam usaha untuk memulihkan semula ekonomi, bahkan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

7.

Peruntukan besar yang diberikan kepada negeri ini yang berjumlah RM5.1 bilion di bawah Belanjawan Negara 2021 untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan, termasuk pelbagai bantuan bagi menangani pandemik COVID-19, mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah dan rakyat keseluruhannya. Bagi Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah 2.0 dan Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah 3.0, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM324 juta bagi membantu rakyat dan semua sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Bantuan ini merangkumi bantuan tunai secara one-off, pengecualian bayaran sewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), program imunisasi dan bantuan bakul makanan.

8.

Dari segi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19, kerajaan telah menyasarkan 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi menjelang penghujung bulan September 2021 dan 80 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir bulan Oktober 2021. Dengan komitmen penghantaran bekalan vaksin oleh Kerajaan Persekutuan serta kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri dan pelaksanaan program outreach luar bandar yang berkeupayaan memberi suntikan vaksin kepada lebih 80,000 individu sehari, saya yakin sasaran berkenaan akan dapat dicapai. Saya berharap penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi sebelum akhir tahun 2021. Ahli-ahli Yang Berhormat,

9.

Kerajaan Negeri telah menggariskan hala tuju Strategik Pembangunan Negeri di bawah RMK12 yang akan memberi penekanan kepada agenda pembangunan Negeri, meliputi semua sektor untuk melonjakkan kembali pertumbuhan ekonomi di negeri ini. Secara ringkasnya, hala tuju tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk memajukan Sabah dengan memperkukuhkan pembangunan inklusif, meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyeimbangkan pembangunan wilayah, memperkasakan modal insan dan memastikan kemampanan alam sekitar di negeri ini.

10.

Sehubungan itu, syabas diucapkan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah atas cetusan idea yang bernas mewujudkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Hala Tuju SMJ) sebaik sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Sabah lebih sebelas bulan yang lalu. Dalam situasi negeri Sabah dicengkam oleh cabaran kemelesetan ekonomi dan pandemik yang belum ada penghujungnya, idea membangunkan semula ekonomi negeri Sabah melalui Hala Tuju SMJ bukan sahaja sesuatu yang amat dinanti-nantikan, malah ia memberi harapan baharu untuk negeri ini terus maju dan mara ke hadapan. 11.

Fasa pertama Hala Tuju SMJ (Hala Tuju SMJ 1.0), 2021-2025 akan dilaksanakan seiring dengan kerangka utama pembangunan negara melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan pelaksanaan RMK12. Saya amat yakin bahawa Hala Tuju SMJ 1.0 akan menjadi pemangkin dan peneraju kepada kemajuan negeri Sabah selaras dengan pendekatan hala tuju berkenaan, iaitu mengoptimumkan sumber dan hasil negeri, merangsang pemulihan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat dan membangunkan modal insan ke arah membina sebuah negeri dan masyarakat yang bersatu padu, harmoni, aman, maju, makmur dan sejahtera.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 12.

Sektor pelancongan merupakan antara sektor penyumbang utama kepada ekonomi Sabah yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19. Jumlah ketibaan pelancong ke negeri Sabah pada tahun 2020 hanyalah 977,460 orang berbanding 4.2 juta orang pada tahun 2019, iaitu melibatkan penurunan sebanyak 76.7 peratus.

Manakala, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2021 pula telah menurun sebanyak 85.2 peratus kepada 108,862 orang berbanding 736,921 orang dalam tempoh yang sama pada tahun 2020. Anggaran jumlah terimaan pelancongan (tourism receipt) di Sabah dalam enam bulan pertama tahun 2021 menyusut dengan ketara sebanyak 88 peratus, iaitu bersamaan dengan RM1.28 bilion kepada RM174 juta sahaja berbanding RM1.45 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2020.

13.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif merangka Pelan Pemulihan Sabah Tourism Recovery Roadmap sebagai panduan dan persediaan dalam usaha memulihkan industri pelancongan. Antara pendekatan yang diambil di bawah pelan pemulihan tersebut ialah memperhebatkan usaha untuk merangsang pembangunan sektor pelancongan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan, terutamanya di kawasan luar bandar.

Di samping itu, pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya dan khazanah alam di negeri ini akan terus diberikan tumpuan dalam usaha untuk membangunkan kembali industri pelancongan, sekali gus memberi kesedaran kepada orang awam tentang peri mustahaknya pemeliharaan dan pemuliharaan dan khazanah budaya dan khazanah alam, agar dapat dinikmati dan dimanfaat oleh setiap golongan masyarakat, termasuk generasi yang akan datang.

14.

Salah satu khazanah budaya yang kini dalam pemerhatian dan bakal melalui proses pemuliharaan ialah Wisma Radio Sabah, iaitu bangunan yang terletak di kilometer 2.4 Jalan Tuaran, yang dahulunya merupakan sebahagian daripada kompleks RTM Sabah. Bangunan lama Wisma Radio Sabah tersebut mula dijadikan pusat penyiaran radio pada awal 1960-an dan pernah menempatkan Persidangan Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1962, berhubung penyertaan Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia. Kini kawasan tersebut sedang dalam proses tuntutan semula oleh Kerajaan Negeri sesuai dengan nilai sejarahnya dan pengiktirafan sebagai Khazanah Budaya Negeri oleh Kerajaan Negeri Sabah bermula pada September 2017. Syabas diucapkan kepada Radio Sabah Alumni Association (RASA) yang telah memperjuangkan pengekalan dan pemuliharaan bangunan berkenaan.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 15.

Dalam sektor pertanian, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada dasar jaminan bekalan makanan dan keselamatan makanan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa bekalan makanan adalah mencukupi bagi menampung keperluan rakyat. Pembangunan dan pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan melalui konsep Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) akan diteruskan dalam RMK12.

Bagi tanaman padi, Kerajaan Negeri menyasarkan seluas 26,300 hektar sawah padi bertanam (kumulatif) pada tahun ini dengan anggaran hasil padi sebanyak 148,500 tan. Untuk tujuan itu, sebanyak 30 peratus benih padi daripada tiga buah loji pengeluaran padi bermutu akan dibekalkan kepada para penanam padi di negeri Sabah.

16.

Pada tahun ini, program pembangunan komoditi tanaman khususnya buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman singkat masa dan tanaman industri yang secara keseluruhannya meliputi kawasan seluas 2,537 hektar melibatkan seramai 1,480 orang petani di seluruh negeri Sabah akan dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan petani. Bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan dalam negeri, tumpuan akan diberikan kepada aspek keselamatan dan kualiti hasil tanaman melalui Amalan Pertanian Baik. Sejumlah 23 inisiatif di bawah Hala Tuju SMJ 1.0 melibatkan sektor pertanian sedang dilaksanakan dalam tahun ini bagi meningkatkan pengeluaran sektor pertanian yang melibatkan pembangunan tanaman, pembangunan dan penyelidikan (R&D), program pendigitalan, penyampaian perkhidmatan dan latihan.

17.

Sebanyak enam buah Pusat Pengumpulan Hasil Tani sedang dibina di Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Kundasang, Telupid dan Lahad Datu. Pewujudan pusat-pusat ini yang dilengkapi dengan kemudahan pusat pengumpulan, ruang penyimpanan hasil, pembungkusan dan penyejukan (cold storage) bagi tujuan pemasaran hasil-hasil pertanian masyarakat tani di luar bandar yang lebih efisien. Penyediaan kemudahan-kemudahan ini juga membolehkan pengeksport, pemborong dan pengguna mendapatkan bekalan hasil pertanian dengan lebih mudah dan cepat.

18.

Kerajaan Negeri juga menjalin kerjasama dengan pihak swasta untuk membina sebuah kilang pemprosesan buah-buahan di Lingkungan, Beaufort bagi memproses hasil buah-buahan yang dikeluarkan oleh pengusaha buah-buahan di seluruh negeri.

19.

Bagi subsektor perikanan, sebanyak 50 program sedang dan akan dilaksanakan bermula pada tahun ini di bawah Hala Tuju SMJ 1.0 yang berupaya memberikan impak positif dalam pembangunan mapan sektor perikanan negeri. Manakala bagi subsektor ternakan, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan institusi perkhidmatan veterinar melibatkan aktiviti-aktiviti subsektor ternakan berkaitan kuarantin, pengembangan, mobile veterinary clinic, abattoir, perkhidmatan klinikal atau diagnostik dan program kepastian kualiti. Pada masa ini, Kerajaan Negeri sedang membangunkan sebuah makmal diagnosis veterinar. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan memperkasa aspek penguatkuasaan bagi memastikan status kesihatan ternakan dan manusia terus kukuh dan terhindar daripada penyakit berjangkit dan zoonotik.

20.

Bagi memperkukuhkan pembangunan industri ternakan, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada pengeluaran input-input makanan untuk ternakan ruminan dengan meningkatkan pengeluaran hasil ruminan melalui dual purpose animals yang melibatkan aktiviti pengeluaran makanan baja, pengeluaran dan penyelidikan kekacang, hay, silaj dan lain-lain untuk kegunaan pemakanan ternakan. Usaha ini diperkukuhkan lagi menerusi 31 inisiatif di bawah Hala Tuju SMJ 1.0 dan program bantuan dalam subsektor ternakan ke arah memastikan jaminan bekalan makanan dan keselamatan makanan serta meningkatkan pendapatan penternak dan sumber bekalan daging tempatan. Program bantuan berkenaan merangkumi Bantuan Baka Ternakan, Projek Pembangunan Padang Ragut dan Insentif One-off Rumah Burung Walit.

21.

Kerajaan Negeri telah berjaya menarik beberapa pelaburan berkaitan sektor pertanian yang dijadikan flagship Hala Tuju SMJ 1.0. Satu daripadanya ialah pelaburan Projek Penanaman Kelapa Berhasil Tinggi yang dirancang untuk dibangunkan di Daerah Kecil Paitan dengan nilai pelaburan RM420 juta.

22.

Pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur pengairan dan saliran di bawah RMK12 dan Hala Tuju SMJ 1.0 akan membantu meningkatkan penghasilan pengeluaran padi di negeri ini.

Usaha juga akan terus dipergiatkan untuk mengurangkan masalah banjir di seluruh negeri dengan memperkasa infrastruktur pengairan dan saliran yang merangkumi pengurusan tebatan banjir, sungai dan pantai serta pengurusan sumber air negeri selaras dengan Enakmen Sumber Air Negeri Sabah.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 23.

Dalam sektor perindustrian, fokus utama pembangunan adalah untuk melaksanakan pelbagai program dan projek berimpak tinggi di bawah RMK12 yang berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Sabah. Tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk merancakkan aktiviti-aktiviti perindustrian, khususnya aktiviti-aktiviti hiliran bernilai tinggi. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan menambah baik kemudahan infrastruktur dan menyediakan persekitaran yang kondusif serta mesra pelabur bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, khususnya di taman-taman perindustrian sedia ada.

24.

Di bawah inisiatif dan flagship Hala Tuju SMJ 1.0, Kerajaan Negeri melalui KKIP Sdn. Bhd. telah menerima pelaburan terbesar, iaitu sebanyak RM4.28 bilion daripada sebuah syarikat yang akan membuka Kilang Pembuatan Kerajang Tembaga (Cooper Foil) untuk kegunaan bateri kereta berkuasa elektrik. Kilang ini akan mula beroperasi pada tahun 2023 dan dijangka akan menyediakan sebanyak 400 peluang pekerjaan. Selain itu, sebuah kilang pemprosesan kelapa dengan nilai pelaburan sebanyak RM200 juta yang akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 3,250 juga akan dibangunkan di Pitas.

25.

Beberapa inisiatif di bawah Hala Tuju SMJ 1.0 berkaitan pembangunan usahawan mikro dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga telah dirangka untuk dilaksanakan pada tahun ini. Satu daripadanya ialah Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah yang bertujuan untuk mengembangkan pasaran produk usahawan IKS tempatan ke peringkat luar negeri, meningkatkan hasil eksport negeri dan

membantu usahawan IKS berkenaan untuk meningkatkan semula hasil jualan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 26.

Pelaksanaan pelbagai projek prasarana dan infrastruktur akan dipergiatkan sebagai pemboleh daya yang efektif untuk menyokong pertumbuhan sektor-sektor utama negeri dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Dalam tempoh RMK12, Kerajaan Negeri menyasarkan lebih kurang 1,190 kilometer jalan raya untuk dinaik taraf dibina di seluruh negeri Sabah. Pada tahun ini, kerja-kerja awalan melibatkan kerja-kerja reka bentuk, ukur tanah, penyiasatan tanah dan perolehan bagi projek-projek berkenaan sedang giat dilaksanakan. Kerajaan Negeri akan memperkasa pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di Sabah.

27.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan liputan bekalan air terawat di negeri ini melalui pelaksanaan projek-projek berkaitan loji-loji rawatan air, empangan-empangan air dan kolam takungan air hiliran serta sistem bekalan air yang mesra alam. Kerajaan Negeri juga komited untuk memastikan bekalan elektrik adalah mencukupi, terjamin dan berdaya harap untuk menampung keperluan rakyat di negeri ini termasuk di kawasan luar bandar.

28.

Kerajaan Negeri terus komited untuk membangun dan menambah baik kemudahan-kemudahan pelabuhan dan dermaga. Antara inisiatif dan projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini termasuklah projek-projek untuk menyediakan alat bantuan pelayaran, penambahbaikan dan menaik taraf kemudahan pelabuhan dan terminal feri serta pembinaan bot penguat kuasa bagi membantu meningkatkan aktiviti penguatkuasaan. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dan kapasiti pelabuhan-pelabuhan utama di negeri Sabah.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

29.

Bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadi sebuah Kerajaan Digital, usaha bersepadu dengan pelbagai pihak akan dipergiatkan bagi melahirkan “Generasi Intelek dan Inovatif” dalam bidang sains dan Information Communication Technology (ICT) serta modal insan yang berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030. Kerajaan Negeri sedang dan akan melaksanakan pelbagai usaha untuk menerapkan minat dan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi.

Misalnya, melalui penganjuran Karnival Sains Sabah 2021, pembinaan Pusat Sains, pembinaan perpustakaan baharu, pelaksanaan program-program latihan kemahiran Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM), Technical and Vocational Education and Training (TVET), keusahawanan, ICT dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). 30.

Pembangunan infrastruktur, ekonomi dan bakat digital akan terus diperkasakan.

Selain itu, pemantapan pengupayaan digital dalam perkhidmatan awam akan dipertingkatkan melalui penyediaan latihan dan kemudahan ICT untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan.

Pembangunan pelbagai aplikasi digital juga akan diperhebatkan. Melalui kajian semula Blueprint ICT dan Blueprint Pembangunan Modal Insan, 2021-2035, negeri Sabah dijangka berupaya melahirkan bakat berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan negeri. 31.

Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan inisiatif pemasangan Very Small Aperture Terminal (VSAT) di kawasan-kawasan terpencil di Sabah untuk melengkapi program penaiktarafan jalinan komunikasi melalui Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menyasarkan 90 peratus kadar liputan jalur lebar 4G di kawasan berpenduduk di Sabah menjelang akhir tahun 2022.

Kerajaan Negeri juga sedang giat untuk menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak untuk menjayakan inisiatif Hala Tuju SMJ 1.0 berkaitan pembudayaan STEM serta kesalinghubungan dan pengupayaan digital.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 32.

Negeri Sabah masih mengekalkan lebih kurang 65 peratus kawasan tanah di bawah liputan hutan selaras dengan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara di bawah liputan

hutan.

Kerajaan Negeri akan meneruskan polisi agar kawasan terlindung sepenuhnya (Totally Protected Areas/TPA) bagi Sabah adalah tidak kurang daripada 30 peratus keluasan keseluruhan negeri menjelang tahun 2025 bagi memastikan TPA adalah mencukupi untuk tujuan perlindungan dan peningkatan perkhidmatan alam sekitar.

Tumpuan juga akan diberikan untuk mengukuhkan pelaksanaan pengurusan hutan mampan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan membuat penilaian ke atas pencapaian dan kemajuan semua pemegang Sustainable Forest Management License Agreement (SFMLA) untuk memperkasa pengurusan kawasan hutan yang dilesenkan dalam jangka masa panjang.

Sehingga kini, seluas lebih kurang 1.587 juta hektar kawasan Hutan Simpan Komersial II adalah diurus dengan mampan menerusi perjanjian SFMLA. 33.

Seiring dengan Hala Tuju SMJ 1.0, usaha pemulihan hutan merupakan antara fokus pembangunan negeri Sabah.

Aktiviti-aktiviti pemulihan hutan termasuklah aktiviti silvikultur dan tanaman mengaya di kawasan hutan terosot di negeri ini akan dipergiatkan.

Selain itu, Kerajaan Negeri komited untuk mempergiatkan aktiviti menanam sebanyak lapan juta pokok setahun dalam tempoh lima tahun ini. Pembangunan ladang hutan secara agresif juga akan dilaksanakan untuk menjamin bekalan kayu secara mampan selari dengan Pelan Transformasi Ladang Hutan yang sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri. Selain itu, Kerajaan Negeri akan menerokai potensi dan peluang-peluang penjanaan hasil baharu hutan melalui mekanisme seperti Pembayaran Perkhidmatan Ekosistem, Pembiayaan Konservasi, Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus) serta Perdagangan Kredit karbon.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 34.

Bagi memperkasa pentadbiran tanah, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan perkhidmatan sistem pentadbiran tanah di negeri Sabah lebih efisien sejajar dengan Hala Tuju SMJ 1.0.

Sistem Berkomputer Pembangunan Tanah (e-LaDev) telah mula digunakan pada tahun ini dengan permohonan bagi semua jenis urusan pembangunan tanah seperti Tukar Syarat Tanah, Pecah Bahagi Tanah, Pelanjutan Tempoh Pajakan dan kebenaran Pindah Milik Tanah dilaksanakan secara atas talian serta diproses dengan lebih cepat secara digital.

Teknologi Global Navigational Satellite System juga diguna pakai

untuk menjadikan kerja-kerja pengukuran tanah kadester lebih cepat dan tepat. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberimilikan tanah Anak Negeri (Native Title) dan pewartaan Tanah Rizab untuk Perkampungan Anak Negeri.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 35.

Pembasmian kemiskinan adalah antara agenda penting Kerajaan Negeri. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya agar program-program pembasmian kemiskinan, khususnya di kawasan luar bandar yang telah dirangka dalam RMK12, akan dapat dicapai sebagaimana yang telah dirancang. Usaha-usaha akan dipergiatkan lagi bagi membangunkan ekonomi, modal insan dan infrastruktur luar bandar bertujuan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan tersebut agar terkeluar dari kepompong kemiskinan.

Pelbagai bantuan akan diberikan kepada masyarakat miskin di luar bandar. Ini termasuklah bimbingan dan latihan kemahiran untuk melahirkan usahawan luar bandar yang berjaya dan berdaya saing. Pusat-pusat latihan kemahiran usahawan akan dibina di daerah bagi membimbing usahawan luar bandar agar berupaya mengeluar dan mamasarkan produk-produk mereka sendiri secara atas talian (online) selari dengan perkembangan ekonomi digital pada masa kini.

36.

Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha meningkatkan infrastruktur luar bandar seperti jalan raya kampung dan lampu jalan kampung serta memperkasa pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin, Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Elektrik Luar Bandar.

Bagi menyokong usaha tersebut, kerajaan juga memulakan program baharu tahun ini, iaitu Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan. Sistem Profil Kampung Sabah yang telah tersedia, bukan sahaja dapat membantu kerajaan, bahkan dapat dimanfaatkan oleh setiap daerah dalam membuat perancangan pembangunan dengan lebih efisien.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

37.

Kerajaan Negeri hari ini menekankan pentadbiran yang prihatin kepada rakyat. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melaksana dan memperluaskan Program Homeward atau wad di rumah pesakit, memperkasakan Program Pusat Perkembangan Kanak-kanak di luar bandar, penyediaan latihan kemahiran untuk ibu-ibu tunggal dan wanita B40, meningkatkan profesionalisme kerja sosial, projek pembinaan Kompleks Bersepadu Orang Kurang Upaya dan Warga Emas dan lain-lain.

38.

Di bawah Hala Tuju SMJ 1.0, Program Homeward merupakan inisiatif flagship untuk membantu komuniti dari golongan rendah yang sakit terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU). Dalam usaha untuk membudayakan aktiviti kesukarelawanan, satu lagi inisiatif yang menyokong perkhidmatan Homeward akan diwujudkan. Inisiatif tersebut melibatkan pembangunan sistem Social Service Time Banking. Sistem tersebut akan membolehkan anggota awam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) menyumbang tenaga melalui kiraan masa terhadap perkhidmatan penjagaan kumpulan sasar, iaitu warga emas dan OKU.

Masa yang dikreditkan boleh dicadangkan untuk diguna atau ditukarkan kepada individu lain pada bila-bila masa sama ada dalam bentuk in kind atau kemudahan cuti tanpa rekod bagi penjawat awam.

39.

Kerajaan Negeri sememangnya mengiktiraf sumbangan wanita dalam pembangunan di negeri ini dan penglibatan wanita akan dipertingkatkan dalam inisiatif Hala Tuju SMJ 1.0 yang lebih fokus kepada sektor ekonomi serta modal insan. Tumpuan akan diberikan kepada inisiatif flagship pembangunan wanita yang mampu memperkasa golongan ibu tunggal B40 dan miskin melalui kolaborasi bersama NGOs.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 40.

Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan bandar dan pekan untuk kemudahan dan keselesaan rakyat. Ini termasuklah pelaksanaan projek-projek pembinaan dan menaik taraf kemudahan awam seperti pasar umum, tapak tamu, gerai, tandas awam dan dewan masyarakat. Pelaksanaan projek-projek berkenaan akan memberi

keselesaan kepada peniaga, pengunjung, orang awam dan memberi pulangan hasil kepada Pihak Berkuasa Tempatan melalui kutipan bayaran lesen perniagaan. 41.

Selain itu, adalah menjadi aspirasi Kerajaan Negeri untuk menyediakan perumahan yang mencukupi kepada semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, setinggan dan B40.

Dalam tempoh RMK12, Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek Perumahan Awam Mampu Milik yang akan dijual pada harga RM47,000 seunit.

Manakala di bawah inisiatif Hala Tuju SMJ 1.0, Kerajaan Negeri dengan kerjasama sektor swasta sedang giat membina sebanyak 662 unit mampu milik, masing-masing 502 unit di Kinarut dan 160 unit di Tuaran. 42.

Bagi memastikan sistem pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam yang lestari, bersepadu, cekap, berkesan dan efektif, tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk membina baharu serta menaik taraf tapak-tapak pelupusan sampah sedia ada, di samping memanjangkan jangka hayat tapak-tapak pelupusan sampah berkenaan.

43.

Perancangan pembangunan guna tanah mampan dan sistematik merupakan antara fokus pembangunan Kerajaan Negeri. Penyediaan sebanyak sepuluh Kajian Pelan Tempatan telah dirancang untuk dilaksanakan dalam RMK12. Kerajaan Negeri akan memastikan sebarang penyediaan Pelan Tempatan yang merangkumi pengezonan kawasan akan dilakukan mengikut kesesuaian cadangan guna tanah, pematuhan memorandum perancangan dan garis panduan pembangunan sedia ada. Sebagai tambahan, bagi memudah cara proses permohonan kebenaran merancang bersyarat, Kerajaan Negeri sedang membangunkan aplikasi e-submission Development Plan untuk menyokong dasar Kerajaan Negeri untuk memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan melalui ICT.

44.

Di bawah inisiatif Hala Tuju SMJ 1.0, Kerajaan Negeri sedang giat mewartakan Pelan-pelan Daerah dan Tempatan di setiap daerah di Sabah di bawah peruntukan Seksyen 6 dan Seksyen 7 Ordinan Perancang Bandar dan Desa Sabah Bab. 141 (Sabah Cap 141).

Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mewujudkan pembangunan persekitaran hidup yang mampan dan kondusif melalui pembangunan landskap.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 45.

Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan pembangunan belia dan sukan di negeri ini selaras dengan matlamat dasar dan pelan pembangunan berkaitan sedia ada.

Kerajaan Negeri telah bersetuju menggubal Enakmen Majlis Sukan Sabah untuk memperkasa pengurusan pembangunan sukan dan seterusnya menyarankan penggubalan Enakmen Majlis Belia Sabah bagi tujuan memperkasakan pembangunan dan program belia mengikut acuan negeri Sabah. 46.

Dalam konteks pembangunan sukan, pelbagai inisiatif telah dirangka untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memajukan sektor sukan di negeri ini. Ini termasuklah penubuhan Pusat Sains Sukan Sabah untuk meneraju sukan prestasi tinggi dan melahirkan atlet bertaraf dunia serta pelaksanaan Program Pembangunan Fasiliti dan Kemudahan Sukan bertujuan untuk menyediakan kemudahan sukan komuniti yang kondusif kepada masyarakat.

47.

Dalam konteks pemerkasaan belia, Kerajaan Negeri telah merancang beberapa program pembangunan belia, iaitu Inkubator Kepimpinan Belia Sabah, Sabah Youth Entrepreneur and Creative Centre, Sabah Youth Community Service dan Sabah Youth Research Centre.

Di samping itu, Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan inisiatif pembangunan belia yang digariskan dalam pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini pastinya akan membantu meningkatkan kesejahteraan golongan belia di negeri ini. Ahli-ahli Yang Berhormat, 48.

Bagi memperkasakan pembangunan wilayah di negeri ini, Kerajaan Negeri telah pun menyediakan Sabah Development Corridor (SDC) Blueprint 2.0 untuk tempoh 2020 hingga 2030 sebagai semakan kepada SDC Blueprint, 2008-2025 bagi memastikan hala tuju pembangunan negeri selaras dengan Hala Tuju SMJ 1.0. Sebanyak lima Teras Strategik telah digariskan dalam blueprint tersebut, di mana tiga teras strategik adalah berkaitan langsung dengan ekonomi, sosial dan kemampanan alam sekitar.

Manakala dua lagi teras strategik adalah berkaitan dengan ekosistem perniagaan dan pembangunan modal insan. Sebagai permulaan, 30 inisiatif SDC telah diberi keutamaan dan akan dilaksana berdasarkan Pendekatan

Pembangunan Wilayah bagi mencapai sasaran pertumbuhan saksama, seimbang dan mampan merentasi koridor Sabah.

Antara inisiatif tersebut adalah Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar untuk dijadikan hab logistik dan transhipment untuk rantau Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines, East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM1.02 bilion.

Projek ini akan menjadi salah satu pemangkin pembangunan semula ekonomi negeri Sabah.

Kerja-kerja reka bentuk dan awalan telahpun disiapkan, manakala kerja-kerja fizikal di tapak dijangka akan bermula pada bulan Oktober tahun ini.

Ahli-ahli Yang Berhormat, 49.

Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan hasil negeri kekal mampan agar kesejahteraan rakyat terus terjamin terutama sekali ketika ekonomi dan sumber pendapatan rakyat terjejas akibat pandemik COVID-19. Sumber hasil baharu yang diperkenalkan pada tahun lalu, iaitu Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum telah menyumbang secara signifikan ke atas sumber kewangan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri beriltizam untuk terus memastikan sasaran Anggaran Hasil yang telah ditetapkan pada tahun ini dapat dicapai, di samping akan terus memperjuangkan tuntutan hak hasil di bawah Perjanjian Malaysia 1963. 50.

Selaras dengan inisiatif Hala Tuju SMJ 1.0, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan tahun semasa dan merasionalisasikan pengurusan sumber untuk mencapai matlamat dan strategi Bajet Negeri. Ini termasuklah pendigitalan beberapa proses penting di Kementerian Kewangan seperti kutipan hasil dan belanjawan pembangunan.

Sistem-sistem yang sedang dan akan dibangunkan ini akan meningkatkan produktiviti, penyampaian dan pencapaian hala tuju pembangunan negeri dengan lebih efisien dan efektif. Usaha ini juga berlandaskan kepada dasar perbelanjaan berhemat dan berintegriti melalui penguatkuasaan ke atas pematuhan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan ke arah menangani ketirisan, pembaziran dan pemborosan.

51.

Badan Berkanun dan Syarkat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri merupakan sebahagian daripada jentera pelaksana polisi Kerajaan Negeri khususnya dalam

aspek sosioekonomi dan komersial.

Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif untuk memastikan Badan Berkanun, Agensi-agensi dan GLC Negeri sentiasa relevan dan berdaya maju dalam merealisasikan matlamat dasar Kerajaan Negeri. Ahli-ahli Yang Berhormat, 52.

Sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri akan terus melipatgandakan usaha dan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pembangunan, khususnya projek-projek pembangunan capital oriented dan people centric yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan dan meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat negeri Sabah.

Saya yakin segala inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri pada masa ini untuk memulih dan merangsang semula ekonomi Sabah yang terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global dan nasional serta pandemik COVID-19 akan dapat dilaksanakan dengan jayanya, insya-Allah. Pelaksanaan RMK12 dan Hala Tuju SMJ 1.0 yang bermula pada tahun ini sudah pasti akan menjadi pemangkin untuk melonjakkan semula pembangunan dan kemajuan di negeri ini.

53.

Syabas sekali lagi kepada Kerajaan GRS pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah bersama-sama anggota Jemaah Kabinetnya yang sentiasa bertungkus lumus bekerja dan berkhidmat demi kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai. Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan, namun, dengan iltizam politik yang tinggi serta keikhlasan yang dipamerkan dalam mengurus dan mentadbir negeri, dan dengan sokongan padu seluruh rakyat, insya-Allah, Kerajaan Negeri ini akan berupaya dan pasti berjaya membawa negeri Sabah kembali ke mercu kejayaan sebagaimana yang kita semua harapkan.

54.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, ESSCOM, Kastam Diraja Malaysia, RELA, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi dan semua petugas di peringkat Daerah dan Pusat Pemberian Vaksin, Pusat Operasi Pengurusan Bencana, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19

Negeri, NGOs dan semua pihak yang terlibat dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.

Sama-sama kita berusaha dan berdoa, semoga pandemik ini akan berakhir dan bumi Sabah bebas dari segala virus yang berbahaya. 55.

Akhirulkalam, saya menyeru semua pihak agar bersatu padu menggembleng tenaga, berganding bahu tanpa mengira latar belakang serta pegangan ideologi politik untuk memperkukuhkan usaha membangunkan negeri ini.

Semoga Allah sentiasa melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada kita semua, melindungi negeri yang kita cintai ini agar kita sentiasa hidup dalam suasana aman, harmoni, maju dan sejahtera.

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

PENANGGUHAN

Speaker

”Ahli-ahli Yang Berhormat, saya selaku Speaker dan bagi pihak semua Ahli-ahli Yang Berhormat dengan ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah kerana telah sudi berangkat untuk merasmikan Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas”.

”Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan Undangan Negeri ini ditangguh sekarang hingga pukul 10.00 pagi Isnin, 22 September 2021”.

(GAVEL (TUKUL) – DIKETUK 3 KALI)

Sahibus Samahah, Mufti Kerajaan Negeri Sabah

Setiausaha Dewan

Sahibus Samahah, Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Keberangkatan balik Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri

Setiausaha Dewan

Keberangkatan balik Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri berjalan keluar meninggalkan Dewan mengikut susunan seperti yang berikut:

Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada TYT Juruiring Tentera (ADC kepada TYT) Ditangguhkan sebagaimana yang dipersetujui pada pukul 11:07 pagi. Ditetapkan: “Bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang hingga pukul 10:00 pagi, 22 September 2021”.

SDN210920210/bnm