Sabah · 16 March 2022

16th Assembly, 3rd session · not final · 6 turns · 5,592 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSabah's own site lists 22 sitting days; 35 more of the 16th Assembly are recovered from the Wayback Machine, and some are missing. Appointed members are not in the election register. Written answers are not published.

Permesyuarahan Dari Tuan Speaker

Speaker

Untuk maklum Ahli-ahli Yang Berhormat semua, persidangan hari ini adalah selaras dengan Artikel 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah, di mana Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri akan merasmikan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang Keenam belas. Sebelum saya menempohkan Dewan ini untuk membolehkan saya menjemput Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri masuk ke dewan, saya ingin memaklumkan, dan memperingatkan kepada semua Ahli Yang Berhormat dan pegawai kerajaan yang berada dalam Dewan yang mulia ini agar mematuhi perkara berikut:-Tiada pergerakan keluar masuk semasa Tuan yang Terutama Yang di-Pertua Negeri menyampaikan ucapan dasar kerajaan.

Memastikan telefon bimbit ditukar pada mod senyap dan tiada penggunaan telefon bimbit dalam apa cara sekalipun semasa Tuan Yang Terutama menyampaikan ucapan dasar.

Dengan ini, Dewan ditempohkan.

Tuan Speaker didahului oleh Bentara Mesyuarat dan Setiausaha Dewan keluar dari Dewan untuk menjemput Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri masuk dalam Dewan.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri berjalan masuk ke Dewan mengikut aturan seperti berikut:

Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada T.Y.T Juruiring Tentera (ADC kepada TYT) Bentara Mesyuarat: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri. Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah:

Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sila duduk.

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua NegeriAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dipersilakan untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua NegeriAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dipersilakan untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

UCAPAN DASAR KERAJAAN OLEH TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH TUN DATUK SERI PANGLIMA (DR) HAJI JUHAR BIN DATUK HAKI MAHIRUDDIN BERSEMPENA DENGAN ISTIADAT PEMBUKAAN PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEENAM BELAS PADA 16 MAC 2022 Bismilahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka dapatlah kita berhimpun dalam Dewan yang mulia ini sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tahun 2022 merupakan tahun kedua Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan merupakan tempoh yang penting ke arah pemulihan ekonomi negeri Sabah. Walaupun masih berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan daripada pandemik COVID-19, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa negeri Sabah berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Ini dapat digambarkan melalui asas-asas sosioekonomi yang kekal stabil dan semakin mengukuh.

Pembukaan semula sektor-sektor ekonomi dan aktiviti-aktiviti sosial serta pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek pembangunan berimpak tinggi di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Hala Tuju SMJ 1.0, 2021-2025) dan RMK12 pastinya merancakkan semula aktiviti dalam sektor-sektor ekonomi yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

Justeru, saya yakin negeri Sabah akan mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini sejajar dengan prospek pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global, insya-Allah. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Palingma Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah atas kecemerlangan menerajui pentadbiran Negeri Sabah dan memastikan keadaan ekonomi, politik dan sosial negeri ini berhadapan dengan situasi getir semasa pandemik COVID-19.

Sukacita saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada negeri Sabah untuk merancakkan pembangunan di negeri ini. Kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri Sabah tercermin melalui pemberian peruntukan pembangunan yang besar di bawah RMK12 dan Belanjawan Negara Tahun 2022.

Kerajaan Negeri akan memastikan peruntukan ini dibelanjakan secara efisien untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor di negeri ini. Selain itu, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi oleh Kerajaan Persekutuan membantu merancakkan semula aktiviti bagi

sektor-sektor ekonomi utama yang secara langsung mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negeri Sabah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri berharap pemulihan industri pelancongan pada tahun ini adalah lebih baik.

Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan semula sektor pelancongan sebagai persediaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri Sabah khususnya apabila aktiviti pelancongan antarabangsa dibenarkan kelak.

Ini termasuklah memperkasa pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas pelancong serta produk-produk pelancongan baharu dan menjalankan promosi pelancongan secara lebih agresif. Kerajaan Negeri juga dari semasa ke semasa menjalin perkongsian pintar bersama syarikat penerbangan, ejen pelancongan dan pejabat-pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia di luar negara bagi meneroka potensi pasaran baharu yang boleh dimanfaatkan oleh industri pelancongan negeri ini. Tumpuan juga akan diberikan untuk mempergiatkan aktiviti pelancongan domestik terutamanya produk pelancongan berasaskan komuniti yang sangat berpotensi membantu memulihkan sektor pelancongan khusunya ketika penutupan pintu sempadan antarabangsa masih berkuat kuasa.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan yang holistik untuk meastikan keunikan dan kepelbagaian etnik, warisan dan budaya serta kekayaan alam semula jadi kekal relevan sebagai aset dan daya tarikan utama pelancongan di negeri Sabah.

Untuk tujuan itu, pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program berkaitan pengukuhan hubungan etnik, pembangunan budaya dan warisan serta konservasi kepelbagaian biologi dan alam sekitar akan dilaksanakan dalam usaha untuk memperkasa pengurusan alam sekitar.

Output kajian-kajian ini akan menyumbang kepada perancangan dan pembangunan alam sekitar yang mampan. Kerajaan Negeri akan memperhebat pelaksanaan program untuk membangun produk-produk pelancongan baharu berasaskan alam semula jadi. Pada tahun ini, antara program baharu yang akan dilaksanakan termasuklah Projek Selam Skuba Rangka Kapal dan Selam Bebola Terumbu di Pulau Mamutik serta Program Anak

Angkat Orkid Liar dan Anak Angkat Rangka Karang di bawah inisiatif hala tuju SMJ. Kerajaan Negeri juga sedang dalam peringkat persediaan bagi menerima panel penilai antarabangsa untuk mengiktiraf Taman Kinabalu sebagai UNESCO Global Geopark.

Program-program penguatkuasaan, pengawalan dan kajian hidupan liar juga akan dipergiatkan untuk menambah baik pengurusan hidupan liar dan membangun sektor pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar di negeri ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dalam sektor pertanian, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada Program Pembangunan Komoditi Tanaman.

Selaras dengan Hala Tuju SMJ, pelaksanaan Projek Pembangunan Tanaman Sayur-sayuran secara komersial, Pembangunan Tanaman Kontan, Insentif Peningkatan Produktiviti Tanaman Buah-buahan serta kelapa dan kopi akan terus dilaksanakan.

Pembangunan tanaman pisang Sabah, nanas MD2 dan durian premium juga akan ditingkatkan sesuai dengan gelaran “ikon buah-buahan negeri Sabah”.

Selain itu, bagi menjadikan negeri Sabah sebagai hab makanan serantau, pelaksanaan beberapa projek flagship Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) akan dipergiatkan.

Selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Keningau sebagai Food and Fruit Valley of Sabah, TKPM Apin-Apin Keningau akan dibangunkan pada tahun ini.

TKPM berkenaan akan menumpukan kepada aktiviti pengeluaran buah-buahan jenis jangka masa singkat dan bernilai tinggi seperti tembikai dan honey dew serta penanaman nanas MD2. Pembangunan TKPM Talibadak, Kuala Penyu juga akan bermula pada tahun ini.

Dalam aspek penambahbaikan pemasaran hasil tani khususnya di kawasan luar bandar, Kerajaan Negeri sedang giat menyediakan prasarana pemasaran melalui penubuhan pusat-pusat pengumpulan hasil tani di negeri ini yang dilengkapi dengan sistem pemasaran digital.

Selain itu, Pusat Pembangunan Buah-buahan Lingkungan di Beaufort yang menggabungkan empat projek di lokasi yang sama iaitu projek penanaman buah-buahan tropika seperti durian musang king, nangka, kelapa pandan dan nanas, Pusat Pengumpulan Hasil Tani, Pusat Kecemerlangan Nanas MD2 dan Pusat Pemprosesan Buah-buahan akan memberi impak peningkatan pengeluaran dan mewujudkan industri hiliran.

Dalam sektor perikanan, tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil perikanan dan memperkasa rantaian nilai khususnya sub-sektor akuakultur bagi menyokong Hala Tuju SMJ. Inisiatif pemuliharaan sumber sedia ada serta pemberian bantuan dan latihan kepada pengusaha akuakultur dan nelayan juga akan terus diberi perhatian. Antara inisiatif dan program perikanan yang telah dan sedang dilaksanakan di bawah Hala Tuju SMJ merangkumi projek menaik taraf makmal-makmal Jabatan Perikanan Sabah untuk melaksanakan kerja-kerja biosekuriti, pemuliharaan sumber sedia ada melalui pembinaan tukun tiruan, perluasan sistem tagal, pemasangan Intruder Intervention Vessel Monitoring System (sistem iiVMS) pada vesel-vesel pukat tunda dan jerut bagi memantau pergerakan dan mengelakkan pencerobohan, pembangunan kawasan Sanktuari Marin serta pelbagai bantuan dan latihan kepada pengusaha akuakultur dan nelayan. Pada masa yang sama, kerajaan turut melaksanakan Program Pembangunan Infrastruktur Perikanan, Pembangunan Akuakultur serta Program Pengeluaran Makanan dan Hiliran Perikanan. Perkhidmatan digital berasaskan peranti mudah alih yang inovatif juga akan dilaksanakan bagi membantu nelayan pesisir pantai. Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan berdasarkan ternakan. Penekanan akan diberikan khususnya kepada usaha-usaha untuk meningkatkan pengeluaran dan Tahap Sara Diri (SSL) bagi daging ruminan yang pada masa ini masih rendah dan bergan- tung sebahagian besarnya kepada import dari luar negeri.

Selain itu, lebih banyak usaha akan dilakukan bagi mengawal penyakit haiwan berjangkit dan zoonotik merbahaya seperti Rabies. Peningkatan kualiti dan keselamatan produk ternakan juga akan terus dipergiatkan dengan pembinaan sebuah rumah sembelih ayam dan sebuah rumah sembelih khinzir yang moden di daerah Keningau pada tahun ini.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan Program Perladangan Kontrak, Program Pemasaran dan Program Latihan Belia serta mempergiatkan pengeluaran produk berasaskan pertanian dan ternakan yang mempunyai daya saing dan permintaan tinggi di pasaran seperti cendawan shiitake, ayam pedaging, ayam kampung, madu lebah, di samping pengeluaran buah pomelo, susu kambing segar dan anak ayam kampung (Day Old Chick).

Selain itu, pembangunan dan peningkatan prasarana sistem pengairan di kawasan-kawasan penanaman padi negeri ini.

Kerajaan Negeri akan memantapkan pengurusan

tebatan banjir dalam usaha mengurangkan risiko banjir menerusi pelaksanaan beberapa projek Tebatan Banjir di bawah RMK12 Biayaan Kerajaan Negeri dan Rolling Plan (RP) Biayaan Kerajaan Persekutuan.

Pembangunan sektor getah akan diperluaskan.

Kerajaan Negeri akan membangunkan kawasan getah baharu melalui program Tanam Baharu dan Tanam Semula Berkelompok seluas 3,500 hektar di 59 buah kampung melibatkan 971 pekebun kecil. Kerja-kerja penyelenggaraan bagi kawasan-kawasan tanaman getah sedia ada juga akan diteruskan. Bagi meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah, Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan bagi memberi bantuan kepada pekebun kecil untuk penanaman halia, pisang, nanas dan penternakan ikan air tawar.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan memperkukuh usaha bagi menambah baik kualiti infrastruktur asas bagi taman-taman perindustrian sedia ada di negeri ini bagi memacu aktiviti hiliran bernilai tinggi.

Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan pemain industri nagi memastikan sektor pembuatan kekal beroperasi dalam persekitaran yang selamat dan kondusif untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan tempatan.

Pada tahun 2021, negeri Sabah telah menerima suntikan pelaburan asing dan tempatan sebanyak RM4.47 bilion dan akan menghasilkan 7,400 peluang pekerjaan. Dengan adanya pelaburan ini, ia akan memberi manfaat kepada ekonomi negeri Sabah terutamanya dari aspek pulangan tukaran wang asing dan juga kutipan cukai. Pelbagai inisiatif juga telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Antara inisiatif tersebut termasuklah pelaksanaan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah, pengembangan pasaran produk IKS Sabah ke pasar raya Semenanjung Malaysia dan Ekspo Jualan. Sebagai tambahan, empat lagi Pusat Produk IKS Sabah iaitu di daerah Tuaran, Keningau, Kota Marudu dan Tawau akan dibuka bagi menyediakan ruang untuk mengumpul, mempamer, mempromosi dan menjual produk keluaran tempatan dari seluruh negeri.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Saya menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan utiliti berimpak tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Ini meliputi projek pembinaan jalan, penyediaan bekalan elektrik yang berdaya harap, penyediaan bekalan air yang mencukupi, menaik taraf dan menambah baik perkhidmatan kereta api, pembangunan kemudahan-kemudahan pelabuhan dan penyediaan sistem pembetungan yang sistematik. Antara projek berimpak tinggi yang akan diberi tumpuan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini termasuklah projek Lebuh Raya Pan Borneo dan projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar untuk menjadi hab logistik dan transhipment untuk rantau BIMP-EAGA. Selain itu, bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam menerima akses jalur lebar, Kerajaan Negeri dalam perancangan untuk memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 300 lokasi yang dikenal pasti pada tahun ini. Usaha ini merupakan langkah penyelesaian interim sebelum capaian internet di negeri Sabah mencapai tahap hampir 100% menjelang tahun 2025.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Selaras dengan aspirasi untuk menjadikan negeri Sabah sebuah kerajaan digital, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan dan pembudayaan pendidikan Sains, Teknologi, ‘Engineering’, dan Matematik (STEM) secara inklusif.

Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) telah ditubuhkan bagi merangka dasar, strategi, latihan berteknologi tinggi serta program pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). selain itu, Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi yang dilengkapi dengan pengisian teknologi terkini akan dibangunkan sebagai satu platform pembelajaran STI yang interaktif dan menyeronokkan. Pada masa ini, Kerajaan Negeri juga menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk merealisasikan pewujudan Pusat Sains Negara Cawangan Sabah. Digital Sandbox juga telah dilancarkan pada 1 Mac 2022 untuk menggalakkan lagi sektor STI dan meningkatkan pengkomersialan hasil inovasi

tempatan. Pusta-pusat E-desa pula akan dinaik taraf secara berfasa menjadi Pusat Ekonomi Digital di luar bandar.

Usaha untuk memperluas dan memperkasa perkhidmatan perpustakaan turut diberi tumpuan.

Antaranya termasuk membina beberapa perpustakaan baharu, mewujudkan ‘Digital Buses’ dan menambah sumber-sumber rujukan berkaitan STI daripada Akademi Sains Malaysia. Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan PETRONAS untuk membina Pusat STI di Perpustakaan Cawangan Sandakan dan Tawau.

Di samping itu, perhatian akan diberikan untuk terus membantu meningkatkan prasarana sains di sekolah-sekolah di negeri ini. Beberapa program STI berimpak tinggi akan dilaksanakan pada tahun ini merangkumi Karnival Sains Sabah, Program Jelajah Astronomi Sabah Pantai Timur, Kembara Sains Sabah, Sabah Science Challenges dan Program Pelantikan Duta-duta Sains di setiap daerah.

Pada masa yang sama, Ruang Reka Flagship di Sabah akan dibangunkan sebagai sebuah Hab Reka Cipta STI yang lengkap bagi menggarap idea kreatif dan inovatif dalam menangani isu sosioekonomi setempat dan menjadi platform untuk berkongsi sumber dan pengetahuan dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE). Kerajaan Negeri juga akan mempergiatkan usaha untuk menerajui bidang teknologi baharu dan baru muncul seperti dron, elektrik dan elektronik, Internet if Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), blok rantai, ruang simpan awam, robotik serta inovasi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sesungguhnya, Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan modal insan di negeri ini melalui penyediaan Kajian Human Capital Development Blueprint for Sabah (2021-2035) yang bertujuan untuk memastikan mata pelajaran, kemahiran dan kepakaran belia dan modal insan di negeri Sabah sentiasa kekal relevan. Kajian ini amat berguna dan penting sebagai garis panduan kepada pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.

Bagi menyokong hasrat negara untuk menjadikan Technical and Vocational Education dan Training (TVET) sebagai kerjaya utama masa hadapan, Kampus

Institut Latihan Teknikal dan Perdagangan, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Papar akan dinaik taraf pada tahun ini bagi mewujudkan suasana pembelajran yang kondusif dan menambah baik Alat Bantuan Latihan mengikut keperluan teknologi masa kini. Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kajian kemungkinan pembinaan Kampus Satelit JPSM melibatkan lima daerah di negeri ini. Selain itu, Kerajaan Negeri bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang dalam perundingan untuk mewujudkan Universiti Teknikal MARA di Sabah. Kerajaan Negeri akan meneruskan Sabah Talent Entrepreneurship Program (STEP) dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang keusahawanan. Kerajaan Negeri melalui Sabah Creative, Economy dan Innovation Centre (SCENIC) juga sedang giat memperkasakan keusahawanan sosial dengan pembudayaan inovasi ekonomi digital agar dapat meningkatkan produktiviti, lebih berdaya saing dan mampan terutamanya dalam era ekonomi digital. Di samping itu, inisiatif Pembangunan Keusahawanan melalui pembangunan teknopreneur seperti PitchBorneo turut dilaksanakan untuk membantu pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan baharu.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Pada tahun ini, usaha akan diperbuat untuk memperkasa sistem penyampaiaan Kerajaan Negeri menerusi usaha-usaha pendigitalan. Ini termasuklah meneruskan usaha membekalkan komputer laptop dan desktop kepada kakitangan Kerjaan Negeri dan menaik taraf infrastruktur penyimpanan data lokasi bersekutu Tawau dan Sandakan bagi memastikan keselamatan data negeri selamat dan terpelihara. Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha menaik taraf sistem dan aplikasi berkaitan sistem penyampaian Kerajaan Negeri melalui pembangunan beberapa portal dan sistem di pejabat-pejabat kerajaan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Seiring dengan Hala Tuju Kelestarian Hijau Inisiatif Hala Tuju SMJ, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah telah memberi fokus baharu dalam semua agenda serta aktiviti sektor perhutanan bagi mencapai faedah sosioekonomi berimpak tinggi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.

Satu lonjakan transformasi akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran Kerajaan Negeri menubuhkan seluas lebih kurang 400,000 hektar kawasan ladang hutan menjelang tahun 2035. ini termasuk melaksanakan strategi dan pelan tindakan perladangan hutan yang teguh dan tangkas, penetapan standard dan latihan untuk semua pengamal dalam rantaian nilai ekonomi ladang hutan baharu, ketelusan dalam pemantauan kemajuan dan pembangunan, dan paling utama, memastikan persekitaran sosioekonomi dan politik yang stabil untuk pelaburan perladangan hutan. Kerajaan Negeri yakin industri perkayuan akan pulih dan menjadi salah satu penyumbang utama pembangunan sosioekonomi negeri melalui komitmen semua pemain sedia ada dan baharu dalam melaksanakan pelan tindakan ini kelak. Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk menambahkan stook dirian kayu hutan pada masa hadapan, malah bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan lonjakan pendapatan hasil kepada Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Kerajaan Ngeri akan terus menerokai potensi dan peluang-peluang penjanaan hasil baharu hutan melalui mekanisme seperti Pembayaran Perkhidmatan Ekosistem, Pembiayaan Konservasi, dan Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus). Usaha untuk melaksanakan program rekreasi hutan dan ekopelancongan yang boleh dimajukan di kawasan hutan simpan di Sabah sebagai salah satu produk ekologi hutan berkonsepkan ekonomi hijau (green economy) juga dipergiatkan.

Strategi ini adalah bagi menyokong dasar kerajaan yang menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia bercuti dalam negara bagi membantu merancakkan ekonomi. Program pembangunan kemudahan ekopelancongan dan rekreasi hutan di Sabah telah ditubuhkan sejak tahun 2008. Pada masa ini, lebih daripada empat puluh destinasi hutan atau ekopelancongan telah dibangunkan di seluruh Sabah bagi tujuan mempertingkatkan sumber pendapatan negeri.

Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Sabah Climate Change Action Council (SCAC) sebagai salah satu usaha untuk menangani perubahan iklim melalui penambahbaikan pengurusan hutan, tukar guna tanah dan perlindungan kawasan konservasi. Jawatankuasa ini bertindak menetapkan hala tuju serta memperhalusi garis panduan dan strategi pelaksanaan secara berkesan projek-projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim agar mampu memberi manfaat ekonomi kepada negeri dan masyarakat, di samping pemuliharaan alam sekitar.

Inisiatif ini juga adalah selaras dengan usaha merealisasikan agenda perubahan iklim dan teknologi hijau negara, serta sumbangan di peringkat negeri kepada komitmen negara di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, United Nation Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) Conference of Parties (COP) 26.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran-geran tanah kepada rakyat negeri Sabah khasnya golongan anak negeri di luar bandar. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah berjaya mengukur tanah untuk golongan anak negeri dengan jumlah keluasan 15, 511.52 hektar iaitu melebihi sasaran 15,000 hektar yang telah ditetapkan dan mewartakan sebanyak 80 kawasan sebagai Tanah Simpaan Perkampungan khas untuk anak negeri. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengukur tanah-tanah anak negeri dengan jumlah keluasan 15,000 hektar dan mewartakan sekurang-kurangnya 7 kawasan sebagai Tanah Simpanan Perkampungan.

Bagi meningkatkan sistem perkhidmatan, sistem tanah atas talian Info-PT dan e-land Enquiry telah dibangunkan untuk membolehkan orang awam membuat pertanyaan atas talian mengenai status permohonan tanah dan status penyiasatan tanah. Pangkalan Utiliti Bawah Tanah Geo Hub juga telah dibangunkan untuk dijadikan sebagai pusat maklumat geospatial bagi utiliti-utiliti bawah tanah. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan terus memperhebat pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan untuk mengurangkan insiden kemiskinan khususnya di kawasan luar bandar. Ini merangkumi program untuk meningkatkan pendapatan Ketua Isi Rumah golongan miskin tegar, Program Keusahawanan Industri Desa dan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) serta program Latihan dan Pembangunan Masyarakat Luar Bandar. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan pelaksanaan program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan, Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di luar bandar. Di samping itu,

kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan akan diperkukuhkan lagi untuk melaksanakan projek-projek luar bandar seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin, Jalan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar dan program-program pembangunan luar bandar yang lain.

Dalam usaha mencapai miskin tegar sifar pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri berhasrat untuk melancarkan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Fasa 1 tahun 2022 pada bulan April 2022. Sepuluh buah kampung di negeri Sabah telah dikenal pasti untuk menjadi fokus kepada strategi pembasmian ini. Kerajaan akan memberi penekanan kepada program atau projek yang dapat memberi impak cepat kepada golongan sasar untuk meningkatkan pendapatan sekali gus mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.

Pelaksanaan program dibuat secara holistik melibatkan program bimbingan, pemantauan dan penilaian bagi menjamin keberkesanannya. Program ini boleh dianggap sebagai pelengkap kepada program-program pembasmian kemiskinan sedia ada yang lain.

Kerajaan Negeri juga pada dasarnya bersetuju untuk menubuhkan Unit Kemiskinan sebagaimana yang ditubuhkan di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah untuk membantu mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan khususnya miskin tegar di negeri Sabah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat komited untuk meneruskan agenda prihatin rakyat selaras dengan salah satu teras dalam Hala Tuju SMJ iaitu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat. Pelbagai bantuan telah disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan B40, M40 dan miskin. Antaranya meliputi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan seperti Bantuan Tunai Pedaftaran IPT secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer Kepada Pelajar (BAIK) dan Bantuan Ihsan Makanan Pelajar Terjejas COVID-19 (IMPAC). Kerajaan Negeri juga melaksanakan inisiatif Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) bagi memantap peranan Persatuan

Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kerajaan untuk menjaga kebajikan pelajar dan sekolah masing-masing, Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) untuk pembekalan keperluan alat-alat kelengkapan sekolah dan Anugerah Khas Kecemerlangan Pendidikan (AKSA) bagi mengiktiraf dan menghargai pelajar-pelajar asal Sabah yang berjaya mengharumkan nama negeri Sabah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Membudayakan masyarakat prihatin dan merakyatkan perkhidmatan cemerlang dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat adalah agenda penting bagi Kerajaan Negeri. Pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang menjadi flagships di bawah Hala Tuju SMJ akan terus diperhebatkan.

Salah satu inisiatig yang telah mula dilaksanakan adalah pembinaan Kompleks Bersepadu OKU dan Warga Emas di Inanam dan sedang dalam kerja-kerja awalan pembinaan. Program Homeward pula yang telah diperkenalkan sebelum ini akan diteruskan pada tahun 2022. sehingga Januari 2022, sejumlah 167 kes pesakit terlantar telah pun dibantu berbanding sasaran asal sebanyak 100 kes seperti yang ditetapkan dalam Hala Tuju SMJ. Di samping itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan Projek Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) melibatkan kanak-kanak luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan Pra-Sekolah atau Tadika.

Dalam usaha untuk memperkasa golongan wanita, pelaksanaan program-program pembangunan dan pemerkasaan Usahawan Wanita terutama kumpulan sasar wanita ibu tunggal B40 dan miskin akan dipergiatkan. Satu daripadanya adalah Program Outreach Santuni Wanita juga akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan Hala Tuju SMJ.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi agar lebih berdaya maju melalui pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti pasar umum, tapak tamu, gerai, kiosk-kiosk perniagaan, tandas awam, dewan masyarakat dan landskap taman awam. Pelaksanaan projek-projek ini adalah untuk memastikan pengguna dan para peniaga khususnya peniaga kecil yang terjejas akibat penularan

COVID-19 dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dengan menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Kerajaan Negeri amat prihatin dengan keperluan menyediakan perumahan yang mencukupi kepada semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, setinggan dan B40. kerajaan Negeri sedang memperhalusi beberapa inisiatif untuk memastikan perkara ini dapat ditangani dengan sewajarnya. Dalam tempoh RMK12, Kerajaan Negeri akan membina rumah kos rendah (RKR) yang akan dijual pada harga RM47,000 seunit. Manakala di bawah inisiatif Hala Tuju SMJ, Kerajaan Negeri dengan kerjasama sektor swasta dijangka akan menyiapkan sebanyak 3,842 unit rumah mampu milik di beberapa daerah di negeri Sabah dengan sebanyak 1,844 unit sedang giat dibina dan baki 1,998 unit lagi akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Bagi memastikan sistem pengurusan sisa pepejal yang cekap dan efektif, tumpuan akan diteruskan terhadap perancangan untuk membina baharu serta menaik taraf tapak-tapak pelupusan sampah sedia ada, di samping usaha memanjangkan jangka hayat tapak-tapak pelupusan sampah berkenaan. Untuk memastikan kelestarian kualiti pengurusan sisa pepejal di negeri Sabah dapat diperkukuhkan, Kerajaan Negeri telah menggubal Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam 2022 yang memperuntukkan punca kuasa perundangan berkenaan operasi dan pengurusan sisa pepejal di negeri Sabah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan hala tuju perancangan pembangunan Guna Tanah Mampan dan Sistematik bagi merancakkan semula pembangunan negeri yang terjejas akibat penularan COVIID-19. Inisiatif ini termasuklah mempertingkatkan usaha untuk mempercepat penyediaan Pelan-Pelan Tempatan yang amat diperlukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Sabah untuk merancang, mengatur dan mengawal pembangunan di kawasan pentadbiran daerah masing-masing. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan memulakan penyediaan empat Pelan Tempatan merangkumi Pelan Tempatan Sri Tanjong, Pelan tempatan Lahad Datu, Pelan tempatan Kudat dan Pelan Tempatan Keningau. Selain itu, penyediaan Kajian Pelan Tempatan Semporna telah disiapkan sepenuhnya

manakala Penyediaan Pelan Tempatan Papar kini dalam proses penyediaan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2023. Kerajaan Negeri juga sedang giat melaksanakan proses pewartaan Pelan-Pelan Daerah dan tempatan di setiap daerah di bawah peruntukan seksyen 6 dan Seksyen 7 Ordinan Perancangan Bandar dan Desa Sabah Bab. 141 (Sabah Cap 141) selari dengan Hala Tuju SMJ. Kerajaan Negeri turut membangunkan sistem aplikasi electronic Planning Permission (ePP) yang menghubungkan PBT dengan Jabatan-Jabatan Teknikal dan Juruperunding sebagai usaha untuk memudah cara dan mempercepat proses permohonan pelan pembangunan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dalam aspek pembangunan belia, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan kerjaya dan kebolehpekerjaan di kalangan belia. Antara program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri termasuklah Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah, Skim Usahawan Belia Sabah dan Program Sabah Youth Job Opportunity. Dalam bidang pembangunan sukan, Pelan Strategik Pembangunan Sukan Negeri Sabah 2020-2030 telah dibangunkan oleh Kerajaan untuk memajukan sektor sukan secara holistik. Salah satu fokus Kerajaan Negeri adalah agenda pembangunan golongan atlet dan penggiat sukan. Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan sukan Prestasi Tinggi, Sukan Kelainan Upaya, Sukan Massa, Sukan Lasak dan Mencabar, e-Sport, Sukan Pelancongan, Sukan Tradisi serta menyediakan infrastruktur dan kemudahan sukan secara mapan. Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri telah memeterai MOU Sukan dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mengenal pasti sukan-sukan berprestawsi tinggi berasakan potensi kemajuan sukandi negeri Sabah. Persefahaman ini meliputi penilaian dan pengujian mengikut spesifikasi sukan, khidmat nasihat secara profesional. Selain itu, Pusat Sains Sukan sabah juga telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi membolehkan teknologi dan sains sukan diaplikasi secara menyeluruh dalam kalangan penggiat sukan. Pusat ini menyediakan Mini Lab sains Sukan dengan kemudahan teknologiterkini untuk mengukur dan menilai prestasi Tinggi atau High Performance Sports Gym dengan peralatan latihan gym yang

lengkap dan spesifik untuk membantu sesi latihan dan meningkatkan prestasi atlet ke tahap maksima.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah menyediakan Rangka Tindakan Koridor Pembangunan Sabah 2.0 (2021-2030) untuk memajukan negeri Sabah melalui pembangunan mengikut koridor atau wilayah yang selaras dengan Hala Tuju SMJ. Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Rangka Tindakan berkenaan akan diperkasakan lagi. Ini termasuk inisiatif untuk menjadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebagai pusat perdagangan dan pintu masuk utama dalam wilayah BIMP-EAGA. Negeri Sabah juga tidak ingin ketinggalan dalam merebut peluang menerokai prospek ekonomi yang boleh dimajukan berikutan dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Kerajaan akan memberikan penumpuan dalam membangunkan beberapa bandar Sempadan yang telah dikenal pasti terutamanya di daerah Tawau dan sekitarnya dengan mempergiatkan pembangunan dan aktiviti ekonomi sedia ada.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana negeri Sabah berjaya melakar kejayaan signifikan dalam konteks kutipan hasil negeri yang direkodkan sebanyak RM5.449 bilion pada tahun 2021 walaupun negeri ini masih berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19. Buat pertama kalinya, kutipan hasil negeri ini menembusi angka RM5 bilion dan memecahkan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu berjumlah RM4.541 bilion pada tahun 2014. di kesempatan ini, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan kepimpinan Kerajaan Negeri kerana telah meletakkan pentadbiran di landasan yang kukuh sehingga berjaya membawa pencapaian yang cemerlang ini. Dalam usaha untuk mengekalkan kecermelangan tersebut, saya menyeru kepada Pasukan Pemungut-Pemungut Hasil Negeri agar memainkan peranan yang lebih agresif dan bertungkus lumus bagi memastikan bukan sahaja sasaran hasil negeri ini bagi tahun 2022 dapat dicapai, malah dapat mengekalkan angka RM5 bilion.

Kerajaan Negeri juga akan meneruskan tuntutan hasil melalui rundingan Perjanjijan Malaysia 1963 (MA63). Baru-baru ini rundingan melalui Jawatankuasa Perundingan Bersama untuk meneliti semula pemberian Kahs kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan telah membuahkan hasil, iaitu Kerajaan Negeri akan menerima kadar bayaran geran yang bahatu mulai tahun ini. Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada pasukan Kerajaan Negeri atas usaha dan kesungguhan dalam memperjuangkan hak negeri selama 5 dekad. Saya berharap seluruh rakyat akan terus memberi sokongan kepada usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan hasil negeri ini agar pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan negeri dapat dipergiatkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Dalam menangani masalah ketirisan wang awam dan pembaziran, Kerajaan Negeri akan terus mengekalkan dasar perbelanjaan berhemat dan berintegriti melalui penguatkuasaan dan pemantauan. Pematuhan peraturan serta garis panduan pengurusan kewangan dan akaun dimantapkan melalui penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) di setiap agensi Kerajaan Negeri. Usaha ini juga dapat meningkatkan produktiviti, sistem penyampaian dan pencapaian hala tuju pembangunan negeri dengan lebih efektif dan efisien. Kerajaan Negeri akan sentiasa menambah baik pekeliling-pekeliling berkenaan pengurusan kewangan dan akaun bagi menerapkan disiplin kewangan yang cekap agar seluruh agensi kerajaan dapat memperbaiki atau menyusun program mengikut keutamaan dan berupaya memberikan impak yang tinggi khususnya kepada rakyat dan pembangunan negeri. Dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri akan terus memberikan tumpuan terhadap usaha-usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan tahun semasa demi memulihkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Strategi Bajet Negeri yang diselaraskan dengan inisiatif Hala Tuju SMJ juga akan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber.

Untuk menjamin kejayaan strategi bajet 2022, Kerajaan Negeri melalui pendigitalan akan menambah baik Sistem Pengurusan Peruntukan dan Pembayaran (S3P) sedia ada dengan penambahan beberapa lagi proses penting di Kementerian Kewangan yang akan diletakkan di bawah sistem induk yang dikenali sebagai Intelligent State Financial Accounting System (I-SFAS). Sistem ini sedang dibangunkan untuk melengkapkan beberapa sistem dalam model transformasi digital

pengurusan kewangan dan perakaunan Kerajaan Negeri secara menyeluruh.

Sistem pengurusan kewangan dan perakaunan ini juga dibangunkan untuk persediaan migrasi daripada perakaunan asas tunai kepada perakaunan akruan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menstrukturkan semula objektif dan fungsi badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Negeri bagi memastikan semua pelaburan Kerajaan Negeri mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi. Sehubungan itu, kerajaan mengambil perhatian serius ke atas aktiviti-aktiviti ekonomi, pelaburan, program atau projek yang tidak menghasilkan pendapatan dan membebankan organisasi sehingga menyebabkan mereka gagal menunaikan tanggungjawab mereka untuk menyumbang secara konsisten kepada hasil negeri juga akan dikaji. Post-Mortem ke atas operasi organisasi anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat usaha sama yang dijalankan secara berterusan oleh Kerajaan Negeri berupaya untuk mengenal pasti punca kegagalan tersebut dengan efektif. Kerajaan Negeri akan memperkasakan lagi proses mengawal selia dan memantau pematuhan semua arahan-arahan tadbir urus korporat dengan menjenamakan semula Jawatankuasa yang ditubuhkan sejak 1997 kepada “Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Pematuhan Tadbir Urus Korporat (JPPTUK)”. Jawatankuasa ini bertujuan untuk memantau dan mengawasi pelaksanaan Kod Tadbir Urus Korporat terhadap Badan-Badan Berkanun dan Syarikat-Syarikat Kerajaan Negeri termasuk prestasi Lembaga dan Ahli Jawatankuasa Lembaga.

Penubuhan Jawatankuasa ini adalah seiring dengan salah satu teras Hala Tuju SMJ iaitu mewujudkan kelestarian fisikal dan memastikan kecemerlangan dicapai dalam integriti dan tadbir urus.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri beriltizam untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan kestabilan ekonomi serta sosiekonomi rakyat Sabah dapat dipertingkatkan.

Bagi mencapai momentum pertumbuhan ekonomi mampan, Kerajaan Negeri akan memperhebat usaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek berimpak tinggi dan menarik lebih banyak pelaburan merentasi semua sektor bagi merangsang pembangunan dan mejana lebih banyak peluang pekerjaan

untuk rakyat negeri ini. Saya berkeyakinan tinggi bahawa penyertaan negeri Sabah di Ekspo 2020 Dubai dan penganjuran Sabah International Business and Economic Summit (SIBES) 2022 baru-baru ini akan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan merancakkan aktiviti perniagaan yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan tinggi ekonomi negeri Sabah pada masa hadapan.

Sekali lagi, syabas kepada Ketua Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, bersama barisan pimpinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dalam masa setahun ini, telah banyak memperkenalkan dan menggubal dasar-dasar bagi memulihkan semula ekonomi negeri, meskipun kita masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.

Segala dasar yang diperkenalkan itu diyakini akan menempatkan semula kedudukan negeri Sabah di landasan yang tepat ke arah kemajuan dan pembangunan yang holistik dan inklusif. Memerangi pandemik dan memulihkan semula ekonomi adalah agenda utama bagi Kerajaan Negeri ketika ini. Kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri, menjadi teras pentadbiran Kerajaan GRS pimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri bersama barisan Jemaah Kabinet Negeri, sesuai dengan kehendak dan keperluan masa kini. Saya percaya, pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kelangsungan kemajuan dan pembangunan seperti yang disasarkan.

Akhir kata, saya ingin menggesa seluruh lapisan masyarakat untuk terus bersatu padu dan saling bekerjasama untuk kemajuan dan kecemerlangan negeri Sabah yang tercinta. Marilah kita berdoa moga negeri kita ini terus maju, aman, makmur dan sejahtera. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan melimpahkan kurnia serta rahmat-Nya kepada kita semua. Inshaa Allah.

Saya dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak kepada semua Ahli Yang Berhormat yang beragama Islam. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah.

Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

PENANGGUHAN

Speaker

”Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya selaku Speaker dan bagi pihak semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah kerana telah sudi berangkat untuk merasmikan Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas”.

”Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan Undangan Negeri ini ditangguh sekarang hingga pukul 10:00 pagi Isnin, 21 Mac 2022”.

(GAVEL (TUKUL) – DIKETUK 3 KALI)

Dijemput Sahibus Samahah, Mufti Kerajaan Negeri Sabah memimpin doa bagi memberkati Pembukaan Penggal Ketiga ini

Setiausaha Dewan

Dijemput Sahibus Samahah, Mufti Kerajaan Negeri Sabah memimpin doa bagi memberkati Pembukaan Penggal Ketiga ini. Bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Keberangkatan balik Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri

Setiausaha Dewan

Keberangkatan balik Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri berjalan keluar meninggalkan Dewan mengikut susunan seperti berikut:

Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada T.Y.T Juruiring Tentera (ADC kepada TYT) Ditangguhkan sebagaimana yang dipersetujui pada jam 11:14 pagi. Ditetapkan: “Bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang hingga jam 10:00 pagi, 21 Mac 2022”.

SDN16032022/bnm