Selangor · 30 October 2020

14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 10 turns · 17,402 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Selamat petang dan salam sejahtera. Aturan Urusan Mesyuarat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Keempat Belas pada 30 Oktober 2020 dimulakan dengan:

(i) Bacaan Doa (ii) Proklamasi

Oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Darjah Kerabat (Selangor), Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.), Darjah Kerabat (Terengganu), Darjah Kerabat (Kelantan), Darjah Kerabat (Perak), Darjah Kerabat (Perlis), Darjah Kerabat (Negeri Sembilan), Darjah Kerabat (Kedah), Darjah Kerabat (Johor), Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.), Dato’ Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.), Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.), Dengan Kurnia Allah, Sultan Dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan Serta Segala Daerah Takluknya.

Bahawasanya Fasal (1) Perkara (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, Memperuntukkan Bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Hendaklah Dari Semasa Ke Semasa Melalui Proklamasi Yang Disiarkan Dalam Warta Memanggil Dewan Negeri :

Maka Oleh Yang Demikian, Beta, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Darjah Kerabat (Selangor), Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.), Darjah Kerabat (Terengganu), Darjah Kerabat (Kelantan), Darjah Kerabat (Perak), Darjah Kerabat (Perlis), Darjah Kerabat (Negeri Sembilan), Darjah Kerabat (Kedah), Darjah Kerabat (Johor), Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.), Dato’ Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.), Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.), Dengan Kurnia Allah, Sultan Dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan Serta Segala Daerah Takluknya, Pada Menjalankan Kuasa Yang Diberikan Kepada Beta Di Bawah Perkara (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Dengan Ini Memanggil Dewan Negeri Untuk Bermesyuarat Dan Menetapkan 30 Oktober 2020, 02 November Hingga 06 November 2020 Dan 09 November Hingga 12 November 2020 Dan Pukul 10.00 Pagi Kecuali Hari Jumaat Pukul 9.30 Pagi, Sebagai Tarikh Dan Waktu Bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Yang Keempat Belas Yang Akan Diadakan Di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

Diperbuat Di Istana Alam Shah, Klang Pada 30 Hari Bulan September 2020.

Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Speaker

Salam Sejahtera dan selamat datang kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan dan para pemerhati sekalian. Bertemu lagi dalam Mesyuarat Ketiga Dewan yang mulia ini bagi Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas.

Sebelum saya meneruskan aturan urusan mesyuarat pada pagi ini sukacita saya ingin memaklumkan bahawa pada 25 dan 26 Oktober 2020, Dewan Negeri Selangor telah menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada sejumlah 1016 orang yang akan menghadiri Persidangan Dewan. Mereka terdiri daripada Ahli Dewan Negeri Selangor, Ketua-ketua Jabatan, wakil Jabatan dan para Petugas yang akan bertugas semasa Persidangan Dewan.

Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, pada persidangan kali ini hanya mereka yang telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan mendapat keputusan negatif dibenarkan memasuki Dewan ini. Sukacita dimaklumkan seramai 1016 orang yang disaring adalah negatif COVID-19. Saya memandang serius perkara ini dan berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan iaitu 3W ( Wash, Wear dan Warn) dan elakkan 3S (tempat yang Sesak - kawasan yang Sempit - Sembang dekat-dekat). Di samping itu, saya menyeru semua untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Dewan Negeri Selangor bagi menjaga keselamatan semua.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pejabat saya telah menerima surat permohonan daripada Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Khim Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri bagi kawasan Bandar Baru Klang untuk memohon izin tidak hadir ke Mesyuarat Dewan Negeri Selangor dan surat permohonan beliau adalah pada 30 hingga 13 November 2020 atas alasan cuti sakit dan perubatan. Jadi dengan ini saya meluluskan permohonan beliau.

Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor, bacaan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 akan dibacakan selepas sesi Pertanyaan-pertanyaan. Namun begitu, pada hari ini, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 akan dibacakan terlebih dahulu. Perkara ini telah dimohon oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan saya mengizinkan.

Tanpa melengahkan masa, sekarang saya mempersilakan Setiausaha Dewan untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat pada petang ini. Silakan.

Kertas-Kertas Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya. Membentangkan Kertas-kertas Mesyuarat:-

1) Kertas Mesyuarat Bilangan 20 Tahun 2020

-Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021 - Rang Undang-Undang Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2020

2) Kertas Mesyuarat Bilangan 21 Tahun 2020

-Rang Undang-Undang Enakmen Majlis Bandaraya Subang Jaya 2020

3) Kertas Mesyuarat Bilangan 22 Tahun 2020

-Rang Undang-Undang Enakmen Majlis Perbandaran Kuala Langat 2020

4) Kertas Mesyuarat Bilangan 23 Tahun 2020

-Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2020

5) Kertas Mesyuarat Bilangan 24 Tahun 2020

-Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor Tahun 2019

6) Kertas Mesyuarat Bilangan 25 Tahun 2020

-Penyata Kewangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019

7) Kertas Mesyuarat Bilangan 26 Tahun 2020

-Anggaran Perbelanjaan Perbekalan 2021 Dan Memorandum Perbendaharaan Mengenai Anggaran Perbelanjaan Perbekalan 2021 Kerajaan Negeri Selangor

8) Kertas Mesyuarat Bilangan 27 Tahun 2020

-Penyata Kewangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019

9) Kertas Mesyuarat Bilangan 28 Tahun 2020

-Anggaran Belanjawan Negeri Selangor 2021 & Senarai Perjawatan Negeri Selangor 2021

10) Kertas Mesyuarat Bilangan 29 Tahun 2020

-Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor 2019

11) Kertas Mesyuarat Bilangan 30 Tahun 2020

-Laporan Tahunan 2019 Tabung Amanah Bencana Alam

12) Kertas Mesyuarat Bilangan 31 Tahun 2020

-Laporan Tahunan 2019 Tabung Warisan Negeri Selangor

13) Kertas Mesyuarat Bilangan 32 Tahun 2020

-Laporan Tahunan 2019 Tabung Amanah Warisan Anak Selangor

14) Kertas Mesyuarat Bilangan 33 Tahun 2020

-Memorandum Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor Tahun 2018

15) Kertas Mesyuarat Bilangan 34 Tahun 2020

-Laporan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor

16) Kertas Mesyuarat Bilangan 35 Tahun 2020

-Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (Public Account Committee - PAC) Bagi Dewan Negeri Selangor Berkaitan Yayasan Selangor

17) Kertas Mesyuarat Bilangan 36 Tahun 2020

-Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (Public Account Committee - PAC) Bagi Dewan Negeri Selangor Berkaitan Majlis Sukan Negeri Selangor

18) Kertas Mesyuarat Bilangan 37 Tahun 2020

-Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (Special Select Committee On Water Resource Management Of The

State Of Selangor (JPK-SAS) Berhubung Penggantian Paip Dan “Non-Revenue Water” 19) Kertas Mesyuarat Bilangan 38 Tahun 2020

-Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (Special Select Committee On Water Resource Management Of The State Of Selangor (JPK-SAS) Berhubung Pindaan Kepada Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999

20) Kertas Mesyuarat Bilangan 39 Tahun 2020

-Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) Bagi Dewan Negeri Selangor Mengenai Kesan Negatif Ekonomi Akibat Wabak Covid-19 Dan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Terhadap Prestasi Kutipan Hasil Cukai Dan Premium

21) Kertas Mesyuarat Bilangan 40 Tahun 2020

-Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat (JP-ABAS) Bagi Dewan Negeri Selangor Berhubung Status Pengurusan Kelab Golf Seri Morib (Kgsm) Oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)

22) Kertas Mesyuarat Bilangan 41 Tahun 2020

-Maklum Balas Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan (Special Select Committee On Competence, Accountability And Transparency – SELCAT) Berhubung Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Di Negeri Selangor

23) Kertas Mesyuarat Bilangan 42 Tahun 2020

-Maklum Balas Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pembasmian Kemiskinan (JPK-Pembasmian Kemiskinan) Bagi Dewan Negeri Selangor Berhubung Pembangunan Perniagaan Atas Talian (E – Dagang) Untuk Peniaga Kecil Di Negeri Selangor

24) Kertas Mesyuarat Bilangan 43 Tahun 2020

-Maklum Balas Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor (Special Select Committee On Water Resource Management Of The State Of Selangor – JPK SAS) Berhubung Pencemaran Sumber Air Sehingga Menyebabkan Henti

Tugas Tidak Berjadual Loji-loji Rawatan Air Dan Pembekalan Semasa Kecemasan

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Semua Peringkat)Bill

Setiausaha Dewan

Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya. Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Semua Peringkat).

Rang Undang-undang ini bernama suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Tuan Speaker, oleh sebab Rang Undang-undang ini perlu dan mustahak diluluskan pada hari ini juga, saya mencadangkan di bawah Peraturan Tetap 78 supaya ditangguhkan Peraturan Tetap 48 dan 53, bagi membolehkan Rang Undang-undang ini dibacakan pada semua peringkat dan seterusnya diluluskan.

Tuan Ganabatirau A/L VeramanDAP · PHKota Kemuning

Tuan Speaker, saya menyokong.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan cadangan ini sila kata YA. Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila kata TIDAK.

Dipersetujui.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat. Tujuan Rang Undang-undang ini ialah untuk pengeluaran sejumlah wang tidak melebihi Dua Bilion, Dua Ratus Lima Puluh Lapan Juta, Satu Ratus Sembilan Puluh Satu, Sembilan Ratus Enam Puluh Sembilan Ringgit Dan Enam Belas Sen (RM2,258,191,969.16) daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 adalah dengan ini dibenarkan dan jumlah wang itu diperuntukkan bagi maksud-maksud yang dinyatakan dalam Jadual.

Tuan Speaker,

Pandemik COVID-19 pastinya dirakamkan sejarah sebagai suatu fenomena penting yang meletus pada awal abad ke 21. Pandemik COVID-19 yang merebak ke seluruh dunia bermula pada Disember tahun lalu telah menyebabkan segala aktiviti mahupun perancangan terpaksa dihentikan, tergendala atau disemak semula.

Perdagangan, perniagaan, pertandingan sukan mahupun persekolahan, hatta percutian dan perkahwinan terjejas kerana penularan wabak COVID-19 ini. Bagaikan pepatah Melayu, sekali air bah, sekali pasir berubah, pandemik ini memaksa kita menyusun suatu norma baharu bagi membolehkan kita mendepani dan melakukan penyesuaian terhadap kesan wabak tersebut. Sewaktu membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang pertama, saya menggunakan kesempatan tersebut dengan menukilkan istilah Cognitive Challenge of War yang dimunculkan oleh Peter Paret, sarjana sejarah dan pemikiran peperangan terkenal sebagai kompas intelektual bagi menangani cabaran COVID-19.

Maudhu’ utama pemikiran Paret, adalah penting untuk kita bersiap-siaga, bersedia untuk melakukan inovasi serta terbuka menerima idea mahupun pendekatan baharu apabila berhadapan dengan peperangan. Sesungguhnya peperangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah peperangan konvensional. Seperti yang sering disebut-sebut, ini adalah peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan. Namun tidak kelihatan bukan bererti kita tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

Setelah beberapa bulan, dilengkapi dengan teknologi canggih dan pakar-pakar seluruh dunia, maklumat mengenai pandemik ini semakin bercambah. Kita diperkenalkan kepada istilah norma baharu sebagai langkah untuk memastikan rakyat sentiasa berhati-hati agar tidak dijangkiti COVID-19.

Waima demikian, saya terpanggil untuk kita berusaha melebarkan makna norma baharu bukan sekadar mematuhi “tatacara pengendalian piawai” ataupun S.O.P.

Inilah cabaran intelektual kita atau dengan izin, Cognitive Challenge of War with the Unseen Enemies tersebut. Kita perlu sedar bahawa wabak ini, seolah-olah the revolt of the nature atau pemberontakan alam terhadap kebobrokan kita di muka bumi ini telah meletus. Bukankah Al-Quran mengingatkan kita dalam Surah Al-A’raf ayat 85:

ْوَ الَ تُفْسِدُوا فِي األَرْضِ بَعْدَ إِصْالَحِهَا “... Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya.” Ahli Yang Berhormat Tuan Speaker,

Penularan wabak COVID-19 ini sebenarnya membolehkan kita menilai semula segala perbuatan mahupun dasar yang telah kita laksanakan. Kesempatan yang ada ini harus digunakan untuk menghentikan fasad yang telah bermaharajalela.

Oliver Goldsmith dalam sajak The Deserted Village yang diterbitkan tahun 1770 meluahkan rasa tidak puas hati beliau, dengan izin Tuan Speaker, “Ill fares the land,

to hastening ills a prey, where wealth accumulates, and men decay” , yang saya terjemahkan, ketika fasad menjalar ke seluruh negeri, kejahatan pantas punca bencana, manakala kekayaan menumpuk dan kemanusiaan mereput. Kita seharusnya mencurahkan tenaga untuk membangunkan kerangka pemikiran politik, siyasah dan muamalat demi memastikan lingkungan mapan, ekonomi bermaruah serta melahirkan masyarakat yang bermartabat dan cekal.

Tuan Speaker,

Pada 16hb Mac 2020, YAB Perdana Menteri menerusi satu siaran langsung telah memaklumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, bermula 18 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah PKP tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan atau yang lebih juga dikenali sebagai Lockdown dan PKP dibuat selepas mengambil kira jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ketika itu adalah 553 orang sementara seramai 511 orang sedang dirawat di hospital. Manakala itu seramai 162,711 orang telah disahkan positif COVID-19 di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, seramai 6,443 telah meninggal dunia.

Sehingga semalam menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 43,766,712 kes dicatatkan di seluruh dunia dan malangnya angka kematian telah mencecah 1,163,459 orang. Ketahuilah ini bukan sekadar angka. Bukan sekadar nombor. Ini adalah mereka yang terkorban. Ini adalah nyawa manusia.

Tuan Speaker yang dihormati,

Lockdown yang diputuskan Kerajaan Persekutuan ketika itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup, kecuali pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan seharian.

Sementara itu semua premis kerajaan dan swasta turut ditutup kecuali yang melibatkan dengan perkhidmatan penting negara atau dikenali sebagai essential services.

Masih melekat kukuh dalam memori saya bagaimana lengangnya Lembah Klang beberapa bulan lalu, seolah-olah tanah air kita baharu sahaja dilanda Garuda.

Ianya juga mengingatkan saya kepada salah satu filem lakonan Will Smith, I Am Legend, menggambarkan dunia pasca apokalips, New York yang sunyi sepi tanpa manusia.

Mujurnya dalam filem itu antagonisnya adalah musuh yang jelas kelihatan iaitu zombie tetapi hanyalah watak fiksyen manakala kita sedang berhadapan realiti musuh yang tidak kelihatan iaitu virus yang menyebabkan wabak COVID-19.

Kita akui bahawa lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan tersebut amatlah perlu untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Namun demikian kita tidak boleh mengingkari kesan besar Perintah Kawalan Pergerakan kepada kehidupan kita semua, kepada masyarakat, kepada ekonomi dan negara.

Laporan yang disediakan oleh PNB Research Institute yang berjudul Taking Cover: COVID-19 and Malaysian Economy menjelaskan kesan Lockdown sepanjang enam minggu itu. Langkah untuk memutuskan rantaian penularan itu telah memperlahankan KDNK negara kepada 0.7% sedangkan KDNK negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.7% pada suku keempat tahun 2019.

Indeks Pengeluaran Industri merudum sebanyak 32% mengambil kira tahun ke tahun (Year-On-Year) setelah bulan April mencatatkan kejatuhan sejumlah 4.9% sementara dagangan borong dan runcit menguncup sebanyak 36.6% pada bulan April 2020.

Suatu tinjauan yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan di antara 10 April 2020 sehingga 1 Mei 2020 mendapati hampir 70% perniagaan melaporkan tiadanya jualan dan pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan manakala 42.5% pula menyatakan bahawa perniagaan mereka memerlukan lebih dari enam bulan untuk pulih.

Kerentanan perniagaan ini menyebabkan pengangguran atau unemployment serta underemployment, natijahnya, ramai yang terpaksa bekerja dengan upah yang rendah serta tidak sepadan.

Tuan Speaker,

Laporan PNB itu juga mencatatkan bahawa kadar pengangguran telah meningkat kepada 5% pada bulan April 2020. Akan tetapi angka ini tidak merangkumi pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, pemotongan gaji serta langkah-langkah pemotongan kos lainnya yang mengakibatkan pendapatan para pekerja ini terjejas.

Kekangan dan tekanan ini bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi akan tetapi juga kepada masyarakat. Sedangkan mereka yang masih mempunyai kerja dan

digalakkan bekerja dari rumah pun tertekan, bayangkanlah pula tekanan kepada rakan-rakan kita di luar sana yang kehilangan sumber rezeki.

Sementelahan itu kita pula terpaksa berkurung di rumah dan hanya dapat berkomunikasi sama ada melalui mesej teks, panggilan telefon, panggilan video ataupun video persidangan dengan sahabat atau rakan sekerja.

Tidak hairanlah aplikasi TikTok melonjak popular di kalangan anak muda. Ini kerana kita adalah, dengan izin Tuan Speaker, social animal. Kita perlu berkomunikasi dan hidup bermasyarakat. Pandemik memaksa kita terpuruk dalam rumah dan hidup terasing, isolasi dari kawanan kita.

Isolasi, sunyi, sepi, membuatkan saya terkenang kepada suatu lukisan yang berjudul The Nighthawks. Lukisan tersebut dilukis oleh seniman terkenal Amerika Syarikat Edward Hopper dan kini tergantung di Art Institute of Chicago.

Disiapkan pada tahun 1942, ketika Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Franklin Delano Roosevelt, di bibit awal Perang Dunia Kedua dan baharu sahaja merangkak keluar dari kesan The Great Depression.

Hopper berusia 60 tahun ketika lukisan ikonik ini disiapkan. Sudah pasti beliau melihat kesan The Great Depression pada 1930-an kepada rakyat Amerika Syarikat. Tidak hairanlah beliau sama ada secara sedar atau tidak sedar cuba merakamkan kesunyian, isolasi dan keterasingan di kotaraya New York.

Namun Edward Hopper panjang umur. Beliau sempat melihat kesan besar The New Deal yang dicetuskan oleh pentadbiran Franklin Roosevelt yang juga terkenal dengan julukan FDR.

Pada 4hb Mac 1933, ketika ucapan perlantikannya sebagai Presiden Amerika Syarikat, FDR menyebut, “the only thing we have to fear is fear itself.” Sepanjang 100 hari pertama beliau sebagai Presiden, FDR telah melaksanakan beberapa dasar dan polisi untuk mengeluarkan Amerika Syarikat daripada kegelapan Kemelesetan Agung tersebut.

Antara projek yang dilaksanakan adalah Tennessee Valley Authority Act untuk menyiapkan beberapa empangan sepanjang Sungai Tennessee sebagai upaya penebatan banjir dan sekaligus untuk menghasilkan elektrik dengan harga yang murah kepada penduduk. National Industrial Recovery Act pula dilaksanakan untuk menjamin hak pekerja dan persekitaran kerja yang sihat.

Kemudiannya pada 1935, FDR meluncurkan The Second New Deal. Ketika itulah Works Progress Administration (WPA) dilaksanakan untuk menyediakan pekerjaan

untuk membina prasarana awam seperti pejabat pos, jambatan, sekolah, lebuhraya dan taman. WPA juga merangkumi pekerjaan kepada para artis, penulis, pengarah teater dan ahli muzik. Pada bulan Ogos tahun itu juga pelaksanaan Social Security Act 1935 diluluskan bermakna sistem pembayaran pencen kepada jutaan rakyat Amerika Syarikat termasuklah anak-anak dan mereka yang berkelainan upaya.

Menyedari niat dan iltizam FDR, ahli ekonomi terkenal John Maynard Keynes telah menulis kepada Presiden itu dan memuji beliau, “you have made yourself the trustee for those in every country who seek to mend the evils of our condition by reasoned experiment within the framework of the existing social experiment.”

John Maynard Keynes dan Franklin Delano Roosevelt, kedua-duanya mahu menyelamatkan dengan izin Tuan Speaker, classical economy from the rent seeker! Penulis The Coming of the New Deal, biografi FDR, menyimpulkan cita-cita Roosevelt sebagai pelaksanaan dasar yang “piecemeal” bukan terperangkap dengan slogan besar atau “ideological choice as catastrophic nonsense.”

Tuan Speaker,

Dibidani iltizam The New Deal inilah Kerajaan Negeri Selangor bertekad melaksanakan Belanjawan 2021 yang dibentangkan dan dengan izin, sebagai guiding principle kepada Pakej Rangsangan sebelumnya.

Pakej Selangor Prihatin Fasa Pertama telah dibentangkan pada 20 Mac 2020 manakala Selangor Prihatin Fasa Kedua dibentangkan pada 1 April 2020 bertujuan untuk memangkin ikhtiar membendung penularan COVID-19 dan menyerap impak sosio-ekonomi penularan wabak tersebut.

Sejumlah RM127.8 juta diperuntukkan dalam Selangor Prihatin Fasa Pertama manakala Selangor Prihatin Fasa Kedua pula melibatkan peruntukan sebanyak RM272.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi RM400 juta telah disediakan untuk rangsangan ekonomi & COVID-19.

Daripada 43 inisiatif yang diumumkan di bawah fasa pertama dan fasa kedua ini, sebanyak 40 inisiatif telah selesai dilaksanakan sepenuhnya yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM264.4 juta atau bersamaan dengan 64 peratus. Manfaat Pakej Selangor Prihatin fasa pertama dan kedua ini telah dapat dinikmati oleh lebih 3 juta penerima rakyat Negeri Selangor. Tiga inisiatif yang masih berjalan adalah:

i. Bantuan kepada pesakit COVID-19; ii. Tabung khas bantuan COVID-19; dan

iii. Inisiatif Selangor Pay yang ditambahbaik menjadi Selangor Advance dan sedang dilaksanakan.

Bagi pelaksanaan Pakej Selangor Prihatin Fasa 3, dengan nilai ekonomi sebanyak RM55.85 billion pula, sebahagiannya kini sedang dilaksanakan oleh agensi pelaksana manakala sebahagian lagi masih di peringkat penyelarasan bersama agensi yang berkaitan.

Tuan Speaker,

SENARIO EKONOMI SEMASA COVID-19 EKONOMI GLOBAL

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Menurut World Bank, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka merosot sebanyak negatif 5.2 peratus berasaskan andaian bahawa sekatan pergerakan dan kuarantin akan dimansuhkan secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun 2020. Namun sekiranya keadaan bertambah buruk pertumbuhan ekonomi dunia dianggarkan merosot sehingga negatif 7.0 peratus.

Bagi negara-negara maju, pertumbuhan ekonomi diramal menguncup pada kadar negatif 7.0 peratus apabila kadar jangkitan semakin meningkat hari demi hari. Bagi kumpulan negara-negara sedang membangun dan sedang berkembang pesat, pertumbuhan dijangka lebih merosot bagi negara-negara yang berhadapan jumlah jangkitan domestik COVID-19 yang lebih besar dan kebergantungan terhadap sektor pelancongan, eksport dan pinjaman asing yang lebih tinggi.

Negara-negara pengeksport komoditi misalnya bakal berhadapan penguncupan ekonomi secara keseluruhan sebanyak negatif 4.8 peratus berbanding negara-negara bukan pengeksport komoditi yang lainnya iaitu sekitar (-1.1%).

Secara keseluruhannya, negara-negara sedang membangun dan sedang berkembang pesat diramal berhadapan pertumbuhan pada kadar negatif 2.5 peratus.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Ekonomi Malaysia yang pada awalnya diramal bertumbuh positif telah dinilai semula apabila pelbagai aktiviti sosial dan ekonomi terhenti. PKP yang berlanjutan selama lebih enam minggu telah menyebabkan sebahagian besar sektor ekonomi terkesan

dan membawa kepada kehilangan pekerjaan, kemerosotan pendapatan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Kegiatan ekonomi di Malaysia menguncup dengan ketara pada separuh pertama tahun 2020, sekitar -8.3%, disebabkan oleh langkah-langkah yang diperkenalkan untuk membendung pandemik COVID-19 pada peringkat global dan dalam negeri. Hal ini telah mengakibatkan kejutan terhadap penawaran dan permintaan secara serentak dalam permainan dan juga kegiatan ekonomi.

Bagaimana pun, sejak ekonomi dibuka semula pada awal Mei, penunjuk bulanan seperti perdagangan borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, penjanaan elektrik dan eksport kasar mencatatkan wujudnya kadar peningkatan.

Pandemik COVID-19 memberi kesan secara langsung kepada isi rumah rakyat negeri Selangor terutama dari segi pendapatan. Ini merupakan kesan langsung dari kehilangan mata pencarian yang berlaku di kalangan isi rumah. Terdapat juga pekerja yang terpaksa menerima potongan gaji walaupun masih mengekalkan pekerjaan.

Pertumbuhan pendapatan isi rumah yang perlahan ini lebih memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah. Lebih-lebih lagi trend menunjukkan peningkatan kumpulan B40 yang tinggal di kawasan-kawasan bandar.

Manakala, jenis pekerjaan yang terkesan oleh COVID-19 adalah kebanyakannya berkaitan dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang merupakan dua sektor utama yang menyumbang 90% kepada KDNK Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri akan terus menyokong isi rumah yang terjejas dan menumpukan kepada syarikat yang memerlukan sokongan dan pemulihan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan mampu untuk kembali berdikari dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negeri dan juga negara.

Bagi jangka sederhana dan panjang, sokongan kepada golongan berpendapatan rendah akan diperluas secara berperingkat bagi memastikan sistem sokongan sosial yang diwujudkan dapat menyediakan perlindungan paling minimum kepada isi rumah dan individu yang memerlukan.

Walaupun terdapat potensi pertumbuhan ekonomi akan meningkat, kadar dan kekuatan pemulihannya terus terdedah kepada risiko yang berpunca daripada faktor dalam negeri dan faktor luaran. Pertumbuhan mungkin berpotensi untuk meningkat sekiranya langkah-langkah rangsangan ekonomi dan program yang dirancang dapat memberikan impak yang lebih besar daripada jangkaan termasuklah sekiranya kita berjaya mengawal dengan cekap penularan pandemik COVID-19 yang boleh datang bergelombang-gelombang dan berfasa-fasa.

PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR

Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor sehingga 29 Oktober 2020 adalah seperti berikut: Perbelanjaan Mengurus telah mencapai 79.89 peratus perbelanjaan atau RM958.67 juta manakala perbelanjaan Pembangunan telah mencecah 53.33 peratus perbelanjaan atau RM604.21 juta.

Rezab Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Wang Disatukan sehingga 29 Oktober 2020 merekodkan angka sebanyak RM2,569.95 juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM788.76 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM1,781.19 juta. Kedudukan Hasil Negeri

Kutipan sebenar hasil negeri bagi tahun 2019 adalah Ringgit Malaysia Dua Bilion, Tiga Ratus Dua Puluh Juta, Satu Ratus Enam Puluh Lapan Ribu, Lima Ratus Tiga Puluh Lima dan Lima Puluh Satu Sen (RM2,320,168,535.51).

Daripada jumlah berkenaan, Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM700.71 juta, Hasil Bukan Cukai mencatatkan RM1,338.44 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM281.02 juta.

Sehingga 29 Oktober 2020, kutipan hasil merekodkan jumlah sebanyak RM1.99 bilion bersamaan dengan 90.46 peratus daripada anggaran hasil tahun 2020 sebanyak RM2.2 bilion. Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM583.51 juta (84.13 peratus), Hasil Bukan Cukai mencatatkan RM1.17 bilion (92.17 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM236.92 juta (99.85 peratus) daripada anggaran yang disasarkan

Anggaran Perbelanjaan

Mendepani cabaran ekonomi semasa, Kerajaan Negeri masih mengekalkan momentum kedudukan kewangan Negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan dilengkapkan oleh analisa-analisa serta perkiraan menyeluruh yang semestinya mengambil kira kebaikan serta manfaat kepada tiga (3) perkara utama iaitu, Rakyat, Komuniti Perniagaan dan Pembangunan Ekonomi Negeri.

Justeru, Kerajaan Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah Ringgit Malaysia Dua Bilion, Tiga Ratus Dua Puluh Tiga Juta (RM2,323,000,000) bagi Belanjawan Negeri Selangor 2021.

Daripada jumlah tersebut, Ringgit Malaysia Satu Bilion, Dua Ratus Dua Puluh Juta (RM1,220,000,000) atau 53 peratus diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus dan

Ringgit Malaysia Satu Bilion, Satu Ratus Tiga Juta (RM1,103,000,000) atau 47 peratus untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah Ringgit Malaysia Dua Bilion, Dua Ratus Juta (RM2,200,000,000), setara seperti anggaran hasil tahun semasa. Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2021 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM1.03 bilion bersamaan 46.98 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM 545.84 juta bersamaan 24.81 peratus. Manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM 206.85 juta bersamaan 9.40 peratus.

Dengan mengambil kira jangkaan Hasil Negeri yang berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan 2021 akan mengalami defisit berjumlah Ringgit Malaysia Satu Ratus Dua Puluh Tiga Juta (RM123,000,000) berpunca dari peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan. Defisit ini adalah lebih rendah berbanding unjuran defisit 2020 iaitu RM133 juta.

Kerajaan Negeri juga sentiasa berjaya mengurangkan defisit sejak tiga (3) belanjawan lalu kepada satu jumlah yang munasabah menerusi usaha-usaha perbelanjaan berhemah, budaya kerja cekap dan berintegriti.

Anggaran perbelanjaan Mengurus sebanyak RM1.220 bilion bagi tahun 2021 adalah merangkumi perbelanjaan bagi Emolumen berjumlah RM439.96 juta, Perkhidmatan dan Bekalan berjumlah RM520.43 juta, Aset berjumlah RM4.80 juta, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap berjumlah RM203.51 juta serta RM51.30 juta untuk Perbelanjaan-perbelanjaan Lain.

Perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan merupakan komponen terbesar mencakupi 42.66 peratus daripada perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri.

Jumlah ini termasuk antaranya kenaikan Elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Caruman Perlindungan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kepada Guru KAFA Negeri Selangor serta Sewaan Bangunan Ibu Pejabat dan Sembilan (9) buah Mahkamah Rendah Syariah (MRS).

Anggaran Perbelanjaan Mengurus ini sepertimana tahun sebelumnya, disediakan berpandukan pendekatan Sifar Belanjawan (Zero-Based Budgeting) yang memberi keutamaan kepada emolumen, utiliti, sewaan, penyenggaraan dan item berkontrak.

Belanja Mengurus

Kerajaan Negeri Selangor konsisten dalam melaksanakan usaha penjimatan dalam peruntukan Mengurus sejak tahun 2017.

Ini terbukti apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke-26/2017 yang bersidang pada 9 Ogos 2017 telah bersetuju mengurangkan perbelanjaan Mengurus Negeri Selangor dengan mengehadkan kadar perbelanjaan Mengurus tahun 2017 setiap Jabatan kepada maksimum 95 peratus sahaja dan arahan ini diteruskan ke tahun 2018.

Dalam Belanjawan 2019, Pentadbiran Kerajaan Negeri telah melaksanakan pengurangan lima (5) peratus peruntukan Mengurus sedia ada setiap Jabatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri dan dalam Belanjawan 2020, empat (4) peratus lagi peruntukan Mengurus sedia ada Jabatan dikurangkan.

Hasil daripada pelaksanaan secara berperingkat sejak tahun 2017 hingga 2020, peruntukan mengurus telah merekodkan penjimatan sebanyak RM276.06 juta yang dikumpul dari tahun 2017 sehingga tahun 2020. Langkah pengurangan ini dilihat berkesan dalam meningkatkan kesedaran Jabatan mengenai pentingnya berbelanja secara berhemah.

Justeru, dalam Belanjawan 2021, Pentadbiran Kerajaan Negeri meneruskan instrumen kawalan perbelanjaan Jabatan dengan pengurangan dua peratus peruntukan mengurus sedia ada setiap Jabatan dengan anggaran penjimatan sebanyak RM19.84 juta. Instrumen kawalan perbelanjaan ini akan lebih inklusif dan berhasil sekiranya setiap Jabatan turut mengoptimumkan sumber manusia dengan prinsip doing more with less, automasi proses kerja dan pengurusan kewangan yang cekap tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Belanja Pembangunan

Belanjawan 2021 mencadangkan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.103 bilion. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya adalah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan ekonomi di mana Pembangunan Infrastruktur masih terus menjadi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM337.3 juta atau 30.6 peratus. Sebanyak RM279.7 juta ataupun 25.4 peratus pula diperuntukkan bagi tujuan pembangunan ekonomi, dan sebanyak RM299.9 juta pula diperuntukkan bagi tujuan pembangunan sosial, iaitu bersamaan dengan 27.2 peratus.

STRATEGI BELANJAWAN 2021 Dengan tema Belanjawan tahun ini, Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat maka strategi Belanjawan 2021 adalah seperti berikut:

Pertama - Agenda Digitalisasi Selangor, Pemangkin Negeri Pintar Ulung

Kedua - Selangor Sentosa, Ummah Sejahtera

Ketiga - Memacu Penciptaan Nilai dan Pembangunan Modal Insan

Keempat - Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rantaian Bekalan Makanan.

Kelima - Merancakkan Pemulihan Ekonomi dan Pembangunan Industri

STRATEGI PERTAMA : AGENDA DIGITALISASI SELANGOR PEMANGKIN NEGERI PINTAR ULUNG

Sebagai negeri yang sentiasa mendepani perubahan, Selangor menyahut cabaran untuk melakar masa hadapan melalui agenda digitalisasi yang holistik dan mampan. Kita tidak boleh tertinggal dengan perubahan semasa terutama pasca pandemik yang menuntut agar kerajaan mempercepatkan proses transformasi digitalisasi untuk membina ekonomi yang berdaya tahan.

Kita harus menunjukkan contoh dan keberanian untuk ‘disrupt the system’ agar rakyat dan negeri Selangor sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran mendatang. Ketika pelaksanaan PKP, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mengadaptasi kepada digitalisasi menerusi pelbagai inisiatif ekonomi dan kesihatan seperti E-Kitchen Selangor dengan kerjasama Grab, E-Bazar Raya dengan kerjasama Shopee yang berjaya membantu golongan peniaga dan penjaja yang terjejas.

Selangor terus menerajui dengan menjadi negeri pertama memperkenalkan aplikasi penjejakan kontak (contact tracing) ciptaan anak tempatan iaitu aplikasi SELangkah dan juga pendidikan atas talian menerusi Selangor Tutor.

Menerusi agenda digitalisasi ini, Selangor bermatlamat untuk menggerakkan ekonomi secara holistik menerusi transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai (value-creation) serta bidang seni kreatif. Dasar ini juga akan memecahkan stigma bahawa digitalisasi ataupun ‘automation’ akan membunuh peluang pekerjaan sebaliknya agenda digitalisasi Selangor akan

mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Selangor menerusi program padanan bakat.

Ini adalah kunci terutama mendepani cabaran pengangguran akibat COVID-19. Ini bermakna kita akan berjaya mengelakkan dari terjerumus kepada ‘technological trap’ seperti yang disebut dalam buku The Technology Trap: Capital, Labor, and Power in the Age of Automation oleh Carl Benedikt Fray.

Penumpuan ke arah agenda digitalisasi ini juga adalah sebahagian dari agenda mencipta sumber pendapatan baharu untuk Kerajaan Negeri. Berlandaskan prinsip ‘no one will be left behind’ agenda digitalisasi ini tidak bersifat eksklusif kepada golongan menengah dan atasan sahaja tapi merangkul keseluruhan rakyat Selangor.

Bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung ataupun Premier Smart State serta Agenda Digitalisasi Selangor sebanyak RM 369 juta diperuntukkan dari dana Kerajaan Negeri, MBI, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Inisiatif Smart Selangor (Smart State)

Kerajaan Negeri akan terus komited untuk menjayakan visi Smart Selangor untuk menjadikan Selangor sebuah Smart State yang berdayahuni di ASEAN pada tahun 2025. Beberapa inisiatif digital Smart Selangor yang telah digunakan secara menyeluruh di seluruh Selangor seperti perhentian Bas Smart Selangor, aplikasi Smart Selangor Parking dan pelaporan lokasi jalan berlubang melalui aplikasi Waze telah memberikan gambaran awal akan keupayaan Kerajaan Negeri untuk mengalakan penggunaan teknologi digital.

Iltizam untuk memastikan Smart State tercapai dalam tempoh 5 tahun akan datang telah dizahirkan dengan pembangunan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 bagi melengkapkan Blueprint Smart Selangor 2016, yang telah menetapkan 4 domain pelaksanaan iaitu Smart Government, Smart Economy, Smart Community dan Smart Digital Infrastructure dengan sejumlah 60 inisiatif berserta sasaran-sasaran yang bakal dicapai pada tahun 2025.

Struktur pelaksanaan program ini juga telah diperkasakan dengan pembentukan sebuah Jawatankuasa Tetap (Standco) Smart Selangor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar bagi memastikan pelaksanaan inisiatif secara lebih menyeluruh dengan penglibatan kesemua agensi, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan anak syarikat milik Kerajaan Negeri.

Sebuah pusat kawalan Smart Selangor C5i Centre, ataupun Command, Control, Communications, Computer, Collaborative and Intelligence Centre sedang dalam peringkat akhir pembinaan di Dewan Jubli Perak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Pusat ini akan menjadi infrastruktur utama berasaskan jaringan internet Gigabit dan Tier-4 ready Cloud Data Centre yang akan memaparkan jaringan CCTV baru kerajaan negeri, papan pemuka (dashboard) operasi Smart Selangor dan juga akan mengupayakan operasi pemusatan data, operasi kawal dan perintah (Command and Control) di antara agensi negeri seperti Unit Pengurusan Bencana, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi-agensi lain.

Kerajaan Negeri menganggarkan bahawa 2,000 unit CCTV akan dipasang di seluruh negeri dengan projek rintis 100 unit di kawasan pusat bandar Shah Alam untuk mewujudkan konsep Smart Selangor Safe City yang akan memantau keselamatan awam, taman awam dan lalulintas secara real-time sepanjang masa. Smart Government

Untuk tahun 2021, di bawah domain Smart Government, sebuah inisiatif Digital Government Approval atau digitalisasi operasi akan diperkenalkan. Digitalisasi operasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor akan dibangunkan untuk mengurangkan tempoh masa penghantaran dokumen pindah milik dan juga pusat pemulihan data akan dibangunkan dengan peruntukan RM 2 juta.

Susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua urusan yang melibatkan kaunter di Pejabat Tanah & Galian Selangor (PTGS) telah dihentikan selama hampir dua (2) bulan. Pelanggan yang terdiri daripada pemilik-pemilik tanah dan petak hanya dibenarkan membuat pembayaran cukai tanah dan petak secara dalam talian sahaja bagi mengelakkan hubungan secara langsung di kaunter-kaunter PTGS.

Justeru, PTGS telah mengambil inisiatif memperkenalkan mekanisme penyerahan secara “Dropbox” di mana pelanggan akan memasukkan dokumen melalui ‘dropbox’ yang telah disediakan dan bayaran dibuat melalui kaedah Deraf Bank. Ini sekaligus dapat mengatasi masalah kesesakan di kaunter.

Pada 27 Julai 2020, PTGS telah menambahbaik mekanisme ini dengan memperkenalkan “Smartbox” yang lebih mudah. Smartbox menggunakan kaedah pembayaran secara online oleh individu atau firma guaman yang berdaftar tanpa perlu datang ke kaunter bayaran seperti yang diamalkan sebelum ini. Pelanggan hanya perlu masuk ke dalam Portal Smartbox yang telah dibangunkan oleh PTGS dan semua bayaran dibuat di dalam portal berkenaan.

Sehingga 24 Ogos 2020, ‘Smartbox’ telah mencatatkan kutipan sejumlah RM 2.8 juta bersamaan dengan lebih 12,000 transaksi, satu angka yang belum pernah dicapai melalui sistem bayaran di kaunter sebelum ini.

Kerajaan Negeri berhasrat agar Selangor menjadi negeri yang mempunyai liputan perkhidmatan 5G yang terbesar di Malaysia. Pada peringkat awal, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan infrastruktur 5G di Bangunan SUK 1 dan melaksanakan projek rintis untuk memberi keselesaan dan keselamatan untuk kakitangan, pelawat serta orang ramai yang berurusan dengan Kerajaan Negeri di dalam bangunan tersebut dan kawasan sekitarnya.

SMARTSEL akan melaksanakan projek rintis 5G ini bersama dengan Bahagian Pengurusan Maklumat dan sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan.

Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK)

Pelaksanaan Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) untuk Industri Kecil Sederhana (IKS) Negeri Selangor ini adalah langkah pertama untuk syarikat-syarikat IKS menuju ke arah digitalisasi dan Revolusi Industri 4.0. Ini merupakan inisiatif daripada Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan kos sekaligus mendigitalisasikan urus tadbir tenaga kerja syarikat-syarikat IKS di negeri Selangor.

Untuk permulaan, syarikat penyedia perkhidmatan bersedia untuk menyediakan perkhidmatan ini secara percuma kepada syarikat PKS yang mendaftar untuk tempoh 3 bulan bermula pada 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020. Ini bermakna sekiranya mana-mana syarikat yang mendaftar pada hari terakhir kempen ini pada 31 Disember 2020, maka mereka masih boleh menggunakan sistem tersebut bagi tempoh 3 bulan selepas itu.

Selepas tempoh 3 bulan tersebut, pihak syarikat PKS boleh membuat pilihan sama ada untuk meneruskan penggunaan sistem tersebut dengan kadar yang ditetapkan oleh syarikat pemberi perkhidmatan. Selangor Innovation Fund

Syarikat tunas rintisan (startups) hanya mewakili 0.25% jumlah perniagaan di Malaysia, berbanding dengan 8.88% di Singapura. Dengan populasi yang lebih besar dan ekonomi yang lebih bervariasi, jumlah ‘startup’ di Malaysia berpotensi untuk terus berkembang. Salah satu faktor utama yang memberi kesan kepada kejayaan ‘startups’ adalah sokongan kewangan.

Mariana Mazzucato seorang ahli ekonomi terkenal dalam buku beliau ‘The Entrepreneurial State: Debunking Public vs. Private Sector Myths’ menjelaskan peranan yang dimainkan kerajaan bagi membantu usahawan terutama dalam bidang inovasi dan ‘startups’. Beliau mengungkapkan, “Jika kita mahukan pembangunan pada hari ini menjadi lebih berinovasi, lebih inklusif dan lestari, maka kita memerlukan kerajaan yang memainkan peranan yang aktif..”

Mazzucato turut menyenaraikan inovasi iPhone sebagai contoh kejayaan inovasi yang dibantu hasil intervensi Kerajaan Amerika Syarikat yang kini menjadi syarikat paling berharga di dunia dengan nilaian 2 trilion dolar Amerika.

Sebagai negeri peneraju serta pusat perkembangan ekonomi negara, Kerajaan Negeri Selangor akan mewujudkan Selangor Innovation Fund bagi menyokong usaha perkembangan syarikat ‘startup’ yang strategik di Malaysia terutamanya di Selangor.

Selangor Innovation Fund akan mengenal pasti syarikat-syarikat permulaan teknologi yang berpotensi di Selangor untuk diberikan pelaburan modal teroka (venture capital). Inisiatif ini berpotensi sebagai pendokong kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Ketiga di mana golongan sasaran adalah syarikat pemula teknologi yang boleh membawa masuk teknologi terkini bagi memacu transformasi Negeri Pintar 2025 dan menjana enjin pertumbuhan ekonomi baru Negeri Selangor.

Bagi melaksanakan Selangor Innovation Fund ini, Kerajaan Negeri dan anak syarikat akan memperuntukkan dana awalan berjumlah RM 100 juta. Langkah ini dijangka akan melengkapkan inisiatif latihan usahawan oleh SITEC di bawah program Brand 100 yang telah melahirkan lebih 500 startups sehingga kini. Selangor Advance

Pada ketika ini, Perniagaan Kecil & Sederhana (PKS) sangat memerlukan bantuan pembiayaan, disebabkan wabak COVID-19 yang telah menjejaskan rantaian bekalan pelbagai industri sekaligus memberi kesan negatif yang mendalam kepada aliran tunai.

Platform Selangor Advance merupakan konsep ‘supply-chain financing’ membolehkan pembekal dan penyedia perkhidmatan yang berurus niaga dengan agensi kerajaan dan anak syarikat kerajaan untuk mempunyai aliran tunai yang mampan. Kemampanan aliran tunai dan kelangsungan perniagaan untuk PKS akan memberi kesan pengganda kepada ekonomi dan sektor pekerjaan.

Selangor Advance telah dilaksanakan dengan modal awalan berjumlah RM 100 juta dan telah diumum semasa Pakej Rangsangan Ekonomi 3 yang lalu.

Semenjak pengumuman itu, Selangor Advance telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan yang mana hampir RM 75 juta telah dicairkan bagi pembiayaan untuk usahawan dan pembekal serta kontraktor di pelbagai peringkat.

Bagi meneruskan inisiatif ini, Kerajaan Negeri mengumumkan tambahan RM 30 juta peruntukan menjadikan dana untuk Selangor Advance berjumlah RM 130 juta keseluruhan. Selangor Kerjaya, Selangor Automotif TVET, Rakan Digital Selangor & Selangor Freelancers

Sehingga Julai 2020, jumlah pengangguran telah meningkat dengan mendadak, dengan jumlah 745 ribu penganggur di Malaysia. Kadar pengangguran baru-baru ini adalah tertinggi dalam tempoh 30 tahun.

Bagi berusaha mengurangkan kadar pengangguran yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa inisiatif.

Pertama Selangor Kerjaya, inisiatif Selangor Kerjaya ini akan menyasarkan untuk menyediakan 10,000 peluang pekerjaan bersesuaian dengan Industri 4.0 melalui kaedah new skill, upskilling dan reskilling.

Golongan sasaran ialah graduan lepasan Institut Pengajian Tinggi, pelajar lepasan sekolah menengah termasuk latihan vokasional dan tenaga kerja yang telah diberhentikan. Selangor Kerjaya dijangka akan membantu menangani masalah pengangguran dengan memberikan solusi penempatan pekerjaan.

Selain itu, sistem ‘profiling’ dan pangkalan data pengurusan bakat dan tenaga kerja dapat menyelesaikan ketidakseimbangan kemahiran dan ketidakpadanan pekerjaan di pasaran buruh Selangor dengan lebih tepat.

Kedua, Inisiatif Selangor Automotif TVET. Platform Selangor Automotif TVET akan mencadangkan padanan kerja di antara 3,000 graduan TVET teknologi automotif dan bengkel automotif di sekitar Selangor. Sebagai galakan untuk bengkel mengambil kerja graduan TVET, bantuan akan diberi kepada bengkel dalam bentuk pembayaran caruman majikan KWSP selama 12 bulan untuk graduan tersebut. Dijangkakan inisiatif ini akan dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan TVET. Selain itu, inisiatif ini akan memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran di bengkel-bengkel seluruh Selangor. Selangor Automotif TVET akan dikendalikan oleh Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Antarabangsa INPENS.

Ketiga, Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif Rakan Digital Selangor.

Melalui program ini, 1,000 orang Rakan Digital Selangor ataupun ‘Selangor Digital Ambassadors’ akan dilantik untuk membiasakan rakyat Selangor kepada aplikasi-aplikasi digital (termasuk inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri) yang akan memudahkan, dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor. Selain itu mereka turut akan membantu menyebarluaskan inisiatif digitalisasi di seluruh negeri. Program ‘Digital Ambassadors’ ini telah dilaksanakan di beberapa buah negara antaranya Singapura, Jerman dan United Kingdom.

Inisiatif ini dijangka akan membantu lebih ramai peniaga mikro dan PKS, warga emas dan belia B40 mengamalkan digitalisasi untuk meningkatkan pendapatan dan juga memberikan pendedahan kepada inisiatif kerajaan Selangor dan teknologi 5G untuk rakyat Selangor secara am.

Keempat, Inisiatif Selangor Freelancers. Sebanyak 26% tenaga kerja di Malaysia ialah pekerja bebas (freelancer), dan jumlahnya semakin meningkat kerana semakin ramai orang memilih waktu kerja yang lebih anjal.

Inisiatif ini bertujuan untuk membina kesedaran dan insentif untuk rakyat Selangor menggunakan kemahiran mereka untuk menjana pendapatan mereka dari freelancing, dan menyasarkan graduan lepasan institut pengajian tinggi, tenaga kerja yang telah diberhentikan kerja, dan suri rumah.

Inisiatif ini dijangka akan dapat menjadi sumber pendapatan alternatif rakyat Selangor, terutamanya mereka yang telah kehilangan kerja, serta golongan yang disisihkan majikan tradisional seperti graduan yang tidak berpengalaman dan golongan suri rumah.

Kerajaan Negeri menjangkakan sebanyak 15,000 peluang pekerjaan akan dicipta melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini. Bagi menjayakan pelaksanaan, sejumlah RM 76 juta diperuntukkan dari MBI dan PNSB. WiFi & Data Internet Selangor

Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan perkhidmatan WiFi Smart Selangor secara percuma kepada rakyat sejak dari tahun 2015 lagi. Pada awal tahun 2020, terdapat lebih daripada 3,600 WiFi Access Point (AP) Smart Selangor telah ditempatkan di lokasi-lokasi seluruh negeri Selangor. Perkhidmatan percuma ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan telah dapat memberikan manfaat kepada ramai pengguna dari segenap lapisan masyarakat.

Bagi menambah keberkesanan jalur lebar internet WiFi Smart Selangor, Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan baru dengan menaiktaraf tahap perkhidmatan kepada yang lebih baik dengan kos yang lebih rendah serta menjajar dan menyusun semula penempatan WiFi kepada kluster-kluster yang lebih memerlukan bantuan seperti Perumahan; lnstitusi Pendidikan dan Kesihatan, Pusat Komuniti; Pengangkutan, Sukan dan Rekreasi.

Untuk tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan inisiatif Data Internet Selangor untuk memastikan agenda digitalisasi dapat dinikmati dan dirasai oleh segenap lapisan rakyat.

Inisiatif Data Internet Selangor ini menyasarkan untuk membantu golongan B40 di Selangor, dengan menyediakan sambungan internet mudah-alih mampu milik yang dipakejkan dengan solusi pembelajaran dan keusahawanan yang akan digunakan oleh golongan sasaran secara produktif.

Dampak sosio-ekonomi daripada inisiatif ini antaranya ialah mengurangkan jurang digital yang dialami golongan B40 dan mengupayakan lebih banyak penciptaan pendapatan untuk mereka. Inisiatif ini juga dapat meningkatkan akses sumber pendidikan dalam talian sebagai salah satu norma baharu sektor pendidikan.

Inisiatif ini disasarkan akan memberi manfaat kepada hampir 54,000 pengguna di seluruh Selangor dan akan mengutamakan golongan mahasiswa, ibu tunggal, dan golongan berpendapatan rendah. Bagi menjayakan inisiatif WiFi dan Data Internet Selangor ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM 17.5 juta.

Selangor E-Kitchen 2.0 & E-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil

Semasa PKP mula dilaksanakan, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Selangor E-Kitchen dan Selangor E-Bazar Raya bagi membantu peniaga kecil dan penjaja. Kesinambungan dari kejayaan program ini, Selangor E-Kitchen akan diperluas dan diteruskan bagi tahun 2021 dengan jenama Selangor E-Kitchen 2.0.

Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Inisiatif Selangor E-Pembekalan Peruncit Mikro bagi membantu peruncit mikro dan kecil di seluruh negeri.

Inisiatif ini menyasarkan untuk membantu 1,000 peruncit mikro dan kecil di Selangor dengan memberi pinjaman mikro kredit untuk peruncit bagi membeli stok selain dari menggunakan kaedah digital untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pesanan dan pembayaran.

Dengan inisiatif ini, peruncit mikro dan kecil akan lebih berpeluang meluaskan perniagaan serta menyumbang kepada ekonomi negeri. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM 15 juta melalui pinjaman kepada HIJRAH bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif ini.

Selangor E-Sports

Selangor telah menjadi meneraju e-sukan dengan menjadi negeri pertama yang menganjurkan Selangor Cyber Games. Sewaktu PKP, Selangor menjadi peneraju dengan penganjuran Selangor Cyber Games Versi Duduk Di Rumah dan menerima sambutan yang amat mengalakkan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mengembangkan bidang e-sukan sebagai antara agenda digitalisasi melalui.

Inisiatif ini menyasarkan golongan belia Selangor, dan akan memangkin ekosistem e-sukan dengan penganjuran acara kejohanan amatur, serta pemberian latihan & bimbingan kepada belia untuk memasuki industri e-sukan. Peruntukan yang akan disediakan untuk inisiatif ini ialah RM3 juta.

Ahli Yang Berhormat Sekalian, kita beralih kepada

STRATEGI KEDUA : SELANGOR SENTOSA, UMMAH SEJAHTERA

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu adalah waktu yang sukar dan pahit kepada ramai daripada kita. Tidak sedikit yang sumber ekonominya terjejas, bahkan ada juga yang terus hilang punca pendapatan akibat penularan pandemik ini.

Walau pun kita telah beranjak ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kembali kepada (PKPB), masih terdapat sebilangan rakyat yang terpaksa bertungkus lumus membina semula kehidupan mereka. Menginsafi akan hal ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan dan menambah baik program-program bantuan kepada golongan yang memerlukan di Negeri Selangor ini.

Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT)

Kerajaan Negeri berbesar hati untuk meneruskan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dengan peruntukan sebanyak RM62 juta untuk tahun 2021 melalui pemberian manfaat sebanyak RM200.00 sebulan atau bersamaan dengan RM2,400.00 setahun untuk ibu-ibu dari kumpulan B40 membeli barangan keperluan asas.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Wanita Berdaya Selangor (IWB) menunjukkan bahawa golongan ibu tunggal sangat terkesan akibat Covid-19 ini memandangkan mereka adalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga mereka. Hasil kajian menunjukkan bahawa 42% daripada ibu tunggal ini telah kehilangan (sebahagian) pendapatan isi rumah mereka akibat kontraknya ditamatkan, terpaksa menutup perniagaan atau mendapat cuti tanpa gaji.

Justeru itu, bagi membantu golongan ibu tunggal yang terdiri daripada pelbagai kaum yang turut terkesan akibat penularan Covid-19 ini maka Kerajaan Negeri telah menambah baik program KISS sedia ada di mana kuota sebanyak 5,000 orang penerima disediakan khusus untuk dimanfaatkan oleh golongan ibu tunggal dari seluruh Negeri Selangor.

Sukarelawan : Jiran Baik, Jiran Yang Peduli

Sukarelawan Jiran Baik Negeri Selangor telah dimulakan secara dalam talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan April sehingga Mei 2020 lalu.

Inisiatif yang dibuat dalam tempoh PKP yang lalu diwujudkan bagi mengatasi masalah individu yang mengalami masalah keciciran bantuan disebabkan oleh ketidakupayaan seperti warga emas yang tinggal bersendirian dan sesiapa sahaja yang sangat memerlukan bantuan disebabkan tidak dapat keluar rumah dalam tempoh tersebut.

Sepanjang perlaksanaannya, sebanyak 565 aduan yang telah dibuat dalam tempoh hanya sebulan, oleh jiran baik kepada pihak Jawatankuasa Tetap Kebajikan Negeri Selangor bagi membuat semakan bantuan kepada jiran mereka.

Inisiatif ini dilihat mampu meningkatkan sikap kepedulian rakyat terhadap jiran-jiran mereka di samping menambah semangat kesukarelawanan dan kejiranan di dalam komuniti masing-masing. Justeru, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah RM300,000.00 bagi menambahbaik dan memperluaskan program ini kepada golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak.

Ketua Komuniti India

Komunikasi dua hala di antara rakyat dan Kerajaan adalah penting dalam mendapatkan maklum balas, cadangan dan penyelesaian masalah yang timbul di sesebuah lokaliti. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri merasakan bahawa perlu penambahbaikan dalam aspek ini di lokaliti yang mempunyai ramai penduduk dari kalangan masyarakat India.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah bersetuju penambahan perkhidmatan Ketua Komuniti Kaum India (KKI) daripada 48 orang sebelum ini kepada 62 orang KKI akan menerima elaun bulanan dan peruntukan program sedia. Pembangunan Orang Asli

Sejajar dengan usaha dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan saksama di seluruh Negeri Selangor dilaksanakan termasuk di Kawasan luar bandar dan di perkampungan orang asli, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500 ribu bagi tujuan menaiktaraf kediaman dan menyediakan kemudahan infrastruktur di perkampungan orang asli. Selain daripada itu, peruntukan sebanyak RM500 ribu juga disediakan bagi tujuan melaksanakan pewartaan ke atas tanah-tanah perkampungan orang asli di negeri ini. Kesihatan

Dalam mendepani cabaran kesihatan global dan domestik yang berterusan, aspek kesihatan akan terus diutamakan oleh Kerajaan Negeri bagi melahirkan individu, keluarga dan masyarakat yang progresif. Bagi tahun 2021 Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM56.5 juta untuk kesihatan secara keseluruhan. Jumlah peruntukan ini mencatat peningkatan 23% berbanding peruntukan bagi kesihatan dalam belanjawan lalu iaitu RM 46 juta. Ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri bagi memperkasa sektor kesihatan awam dan mewujudkan Selangor yang sihat dan sejahtera. Kesihatan Awam

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan bahawa seramai 1.7 juta rakyat Malaysia atau bersamaan 8.1% mempunyai tiga risiko utama penyakit kardiovaskular iaitu diabetis, hipertensi dan kadar kolesterol yang tinggi. Berdasarkan tinjauan yang sama turut mendapati bahawa 1 daripada 2 orang dewasa mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes. Menyedari betapa pentingnya pencegahan awal, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi aktiviti dan promosi gaya hidup sihat di seluruh negeri Selangor bagi mengatasi masalah ini.

Masih ramai di kalangan rakyat negeri Selangor tidak menyedari betapa bahayanya ancaman penyakit Tuberculosis atau Tibi kepada masyarakat. Salah satu faktor utama penyakit Tibi ini terus merebak adalah kegagalan pesakit tibi mendapatkan rawatan lengkap selama sekurang-kurangnya enam (6) bulan. Oleh yang demikian, bagi meneruskan kesinambungan mengekang penularan penyakit berbahaya ini, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM1.0 juta bagi meneruskan Program Insentif Rawatan Tibi tahun 2021 dengan menyasarkan seramai 2,500 orang pesakit tibi.

Pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada merawat’ perlu menjadi keutamaan di dalam kempen kesihatan awam Negeri Selangor. Justeru, Kerajaan Negeri menganjurkan agar pihak PBT turut bersama-sama dalam usaha ini untuk mengembangkan fungsi Unit Kesihatan sedia ada menjadi Unit Kesihatan Awam yang tidak hanya bertumpu kepada hal pemeriksaan kesihatan di premis-premis tetapi juga menganjurkan program-program awam bersifat intervention dan preventive.

Mengawal pandemik

Dalam kesibukan kita menyelesaikan permasalahan wabak COVID-19, janganlah kita sesekali lupa dan alpa mengenai ancaman penyakit demam denggi yang telah meragut sekurang-kurangnya 34 nyawa pada tahun 2020 (data sehingga 23/8/2020) di Negeri Selangor. Kecaknaan Kerajaan Negeri dalam membendung penularan wabak demam denggi ini diteruskan pada tahun 2021 dengan memperuntukkan sebanyak RM5.0 juta bagi aktiviti-aktiviti kawalan dan pencegahan denggi seluruh Selangor.

Ahli Yang Berhormat sekalian,

Skim Insurans Peduli Sihat

Skim Peduli Sihat yang telah dimulakan sejak tahun 2017 akan diteruskan pelaksanaan dengan imej baharu pada tahun 2021 dikenali sebagai Skim Insurans Peduli Sihat. Buat julung-julung kalinya skim kesihatan menyeluruh yang merangkumi kombinasi rawatan pesakit luar dan manfaat insurans asas diperkenalkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Selangor mendapatkan rawatan kesihatan terbaik.

Melalui penjenamaan semula dan penaiktarafan skim ini, pemegang polisi bakal menikmati kemudahan insurans asas meliputi perlindungan disebabkan kematian, penyakit kronik, khairat kematian dan hilang upaya kekal di samping kemudahan rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta yang berdaftar.

Bagi menjayakan hasrat Kerajaan Negeri mewujudkan skim kesihatan yang menyeluruh ini, sebanyak RM42.5 juta akan diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 85,000 orang pemegang polisi.

Kesejahteraan dan kesihatan penjawat awam negeri Selangor akan terus terbela di bawah kerajaan hari ini di mana sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan bagi program Peduli Sihat Penjawat Awam yang akan memberi manfaat kepada kesemua penjawat awam Gred 44 dan ke bawah.

Bantuan Sihat Selangor atau BSS tidak asing lagi kepada rakyat negeri Selangor yang mana kerangka utama bagi program ini adalah membantu golongan B40 dalam mendapatkan bantuan kesihatan seperti dialisis buah pinggang, pembedahan katarak mata, pembedahan kecil mahu pun bantuan alat-alat perubatan. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM 5 juta akan diperuntukkan pada 2021.

Dasar Mesra OKU

Pembangunan Negeri tidak akan bermakna jika Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dipinggirkan. Namun isu OKU juga bukan sekadar kebajikan tetapi lebih luas lagi meliputi aspek kesihatan, pendidikan, undang-undang, peluang kerjaya dan kemudahan infra yang selesa .

OKU Berdaya Negeri Sejahtera adalah tema utama yang menjadi agenda besar Kerajaan Negeri Selangor. Usaha pemberdayaan OKU ini akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada konsep pembangunan inklusif meliputi aspek pemerkasaan dan pengupayaan.

Kerajaan Selangor juga akan mempertingkatkan peranan Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) dalam mengetengahkan agenda Pengarusperdanaan OKU dalam setiap program Kerajaan Negeri di semua peringkat ke arah mencapai Selangor Negeri Mesra OKU.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM3.25 Juta bagi keseluruhan program dan pemberdayaan OKU meliputi inisiatif berikut: pertama, Bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS): pembelian alatan sokongan, ubat-ubatan dan nutrisi tambahan; kedua, Didik AnIS: insentif terapi pemulihan anak-anak istimewa; ketiga, Cikgu AnIS; kursus latihan asuhan anak-anak istimewa dan keempat, Kelas AnIS; seminar kesedaran untuk kumpulan sokongan Ibu Bapa Anak Istimewa.

Program Food Bank

Berdasarkan laporan United Nations Sustainable Development Goals (SDG) 2019 setiap satu dari 9 orang manusia mengalami masalah kekurangan nutrisi. Sebagai satu usaha Kerajaan Negeri Selangor bagi golongan miskin bandar di sekitar Selangor, RM 6 juta diperuntukan untuk Program Food Bank Selangor yang akan dilaksanakan ke seluruh 56 DUN di Selangor. Kekurangan dan ketidakseimbangan nutrisi di kalangan kanak-kanak menjadi isu yang perlu diberikan perhatian. Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara mendapati

sebanyak 33% kanak-kanak di kawasan tersebut mengalami masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan nutrisi.

Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Food Bank Kanak-Kanak yang menyasarkan golongan kanak-kanak di bawah enam (6) tahun dari kalangan keluarga berpendapatan rendah B40. Sebanyak RM 1 juta daripada peruntukan Program Food Bank Selangor akan dikhususkan untuk tujuan ini. Kediaman Komuniti Emas

Melihat kepada peningkatan demografi rakyat Negeri Selangor di kalangan golongan berumur, Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor akan meneroka untuk menyediakan tawaran kediaman komuniti bersepadu untuk kalangan warga emas.

Kediaman ‘multi-generational homes’ atau penempatan sebumbung antara datuk dan cucu mampu memberikan sosialisasi yang baik antara yang muda dan tua, sekaligus mengurangkan kesepian yang sering melanda golongan warga emas. Kajian juga menunjukkan betapa interaksi yang berterusan antara orang tua dan kanak-kanak memberi banyak faedah kesihatan kepada para pesakit alzheimer.

Digabungkan dengan ruang jagaan kanak-kanak, Kerajaan Negeri menerusi SELGATE Healthcare akan bekerjasama dengan Medivoque untuk mengubahsuai Hotel De Palma di Ampang (milik Penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) bagi menawarkan kediaman “independent and assisted living” yang selesa dengan kelengkapan dan infrastruktur kesihatan yang lengkap untuk keperluan warga emas beserta akses mudah untuk penjagaan dan pemantauan sekeluarga.

Skim Mesra Usia Emas 2.0 (SMUE 2.0)

Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pada awalnya menyediakan bantuan berbentuk khairat kematian sebanyak (Dua ribu lima ratus ringgit) RM2,500 kepada waris warga emas yang meninggal dunia. Setelah beberapa tahun ianya dilaksanakan, terdapat permintaan agar manfaat SMUE ini dapat dinikmati sendiri oleh warga emas, bukannya dinikmati oleh waris mereka apabila mereka meninggal dunia.

Justeru, mulai tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menambahbaik program SMUE ini dengan memberikan manfaat berbentuk pemberian baucar Jom Shopping kepada warga emas yang berdaftar setiap kali tiba hari lahir mereka.

Sebagai sebuah Kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan dan rintihan rakyat, Kerajaan Negeri turut menambahbaik program SMUE ini. Selain memberikan baucar perayaan Jom Shopping ataupun baucer-baucer shopping tahunan kepada warga

emas, Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan kembali bantuan khairat kematian kepada waris warga emas yang berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dengan nilai sebanyak RM500.

Bagi tujuan itu Kerajaan Negeri mencadangkan untuk menambah peruntukan sebanyak RM7.5 juta kepada peruntukan sedia ada RM20 juta bagi program Jom Shopping SMUE. Ini menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan bagi program SMUE ini pada tahun hadapan adalah sebanyak RM27.5 juta. Ini menjadikan peruntukan ini adalah peruntukan yang signifikan dimana kehidupan warga emas di saat hidup mereka dan juga waris mereka mendapat sedikit sumbangan daripada Kerajaan Negeri akibat kehilangan orang yang tersayang.

WANITA DAN KELUARGA

Lembaran tahun 2020 telah melonjakkan wanita Selangor ke satu aras yang lebih meyakinkan. Tidak dapat dinafikan, golongan wanita adalah antara kelompok yang sangat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 ini, namun ianya sedikit pun tidak mematahkan semangat Kerajaan Negeri untuk tetap memberi fokus kepada usaha-usaha pemberdayaan wanita di Negeri ini. Tahun 2021 merupakan tahun lonjakan paradigma dalam memartabatkan wanita Selangor dalam Belanjawan 2021. Untuk itu, sebanyak RM71.3 juta diperuntukan pada tahun 2021 bagi meneruskan agenda memperkasa wanita dan keluarga.

Pengarusperdanaan Gender

Kerajaan Negeri menerusi Institut Wanita Berdaya Selangor (IWB) akan menggiatkan lagi program Pengarusperdanaan Gender Peringkat Negeri Selangor agar golongan wanita dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dan aktif dalam pembangunan negeri ini. Untuk tujuan ini, sebanyak RM1.8 juta akan diperuntukkan bagi IWB.

Majlis Wanita Selangor (ManiS)

Bagi memperteguh agenda memartabat wanita di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri pada tahun 2021 akan menubuhkan Majlis Wanita Selangor (ManiS) sebagai sebuah platform yang menghimpunkan agensi-agensi pembangunan wanita dan badan-badan bukan kerajaan untuk mengkaji dan dan merangka dasar pemberdayaan wanita dari pelbagai aspek meliputi ekonomi, sosial, politik dan budaya. Dengan ManiS ini maka lebih manis senyuman-senyuman wanita di Selangor. Saya tidak pasti semanis kurma atau semanis madu.

Ahli Yang Berhormat Sekalian,

Hab Wanita Berdaya

Pusat Wanita Berdaya Selangor (PWB) di peringkat daerah akan melaksanakan aktiviti pembangunan ekonomi yang akan dibangunkan sebagai Hab Wanita Berdaya Selangor khusus untuk wanita berpendapatan rendah dan ibu tunggal. Hab ini akan dibangunkan dengan kerjasama strategik dengan pebagai agensi dan badan kerajaan untuk menjadi tumpuan aktiviti ekonomi dan pembangunan usahawan wanita. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM3 juta kepada Pusat Wanita Berdaya Selangor.

Work From Home, Tanjung Suri dan Ekspo HaSSel

Bagi menambah nilai program-program pemberdayaan ekonomi wanita di peringkat komuniti ini, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM200,000.00 untuk mereka mengikuti satu program khusus iaitu Work From Home yang telah pun dilaksanakan selama dua tahun berturut-turut. Hasilnya, pada bulan Mac 2020 yang lalu, pasukan ini telah berjaya melancarkan satu produk khusus oleh golongan wanita Selangor iaitu Tanjung Suri.

Sebanyak 10 jenis barangan yang dihasilkan telah dikenalpasti mencapai piawai pemasaran komersial, di mana pasukan ini juga telah berjaya berkolaborasi dengan platform berpotensi seperti pasaraya Isetan Kuala Lumpur yang telah bersetuju untuk memberikan ruang niaga dan pameran kepada produk-produk keluaran Tanjung Suri.

Di samping itu, Kerajaan Negeri buat julung-julung kalinya juga telah menganjurkan Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) bersempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2020 sebagai platform untuk wanita-wanita di Negeri ini mengetengahkan produk masing-masing yang terdiri daripada golongan suri rumah dari keluarga B40, Ibu-ibu Tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan para peserta Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor.

Memandangkan Ekspo HaSSel ini telah berjaya menarik lebih daripada 5,000 orang pengunjung, 62 reruai pameran dan 100 produk wanita Selangor dan mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan terutama dari kalangan pemain industri, maka Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM300 ribu bagi tahun 2021 untuk Ekspo Hasil Suri Selangor 2.0 agar usaha ini dapat terus diperkembangkan.

Bantuan Pengusaha dan Guru-Guru Tadika

Berdasarkan data yang diterima daripada persatuan tadika di seluruh Negeri Selangor, sebanyak 2039 buah tadika telah terjejas kerana tidak dapat beroperasi dalam tempoh pandemik ini. Antara kesan yang ketara ialah pengusaha tadika perlu menanggung kos tambahan untuk pematuhan SOP pandemik. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri mengumumkan inisiatif Bantuan Pengusaha dan Guru-Guru Tadika berjumlah RM 2 juta pada tahun 2021.

PEMANTAPAN INSTITUSI AGAMA ISLAM

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited untuk memantapkan kemajuan insitutisi agama Islam demi kesejahteraan ummah di Negeri Selangor ini. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM377.77 juta untuk tahun 2021.

Peruntukan ini termasuk inisiatif caruman PERKESO kepada guru-guru KAFA, peruntukan mengurus Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), peruntukan pembangunan JAIS, peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan juga peruntukan membaik pulih masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor. Caruman PERKESO Bagi Guru KAFA Kerajaan Negeri Selangor amat cakna dan prihatin dengan perkhidmatan guru KAFA di Selangor yang menyumbang bakti mendidik anak-anak dengan didikan agama di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan peruntukan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi guru KAFA Negeri Selangor berjumlah RM1.1 juta sebagai caruman majikan. Jumlah ini akan memberi manfaat kepada 4,200 orang guru KAFA Negeri Selangor. Pembinaan Masjid / Sekolah Rendah Agama / Maahad Integrasi Tahfiz Selangor

Pembinaan masjid yang dirancang oleh Kerajaan Negeri adalah antara projek yang terkesan susulan pelaksanaan PKP. Terdapat beberapa masjid yang dirancang siap pembinaan pada tahun ini terpaksa diberikan pelanjutan tempoh penyiapan. Kerajaan Negeri melalui UPEN, JAIS dan JKR akan memantau pelaksanaan pembinaan masjid-masjid ini dan memastikan ianya dapat disiapkan dalam tempoh yang sepatutnya. Sebanyak 9 buah masjid dijangka akan siap dibina pada tahun 2021. Masjid-masjid tersebut adalah :

i. Masjid Setia Alam;

ii. Masjid Ar-Rahmah, Kuala Langat;

iii. Masjid Putra Height, Subang Jaya;

iv. Masjid Klang Gate, Gombak;

v. Masjid Taman Alam Jaya, Kuala Selangor;

vi. Masjid As-Solihin, Sungai Burong, Kuala Selangor;

vii. Masjid Seksyen 24, Shah Alam;

viii. Masjid Al-Ikhlas, Taman Bukit Belimbing, Hulu Langat; ix. Masjid Seksyen 13, Shah Alam

Bagi pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) pula, 2 buah SRA dijangka akan disiapkan pada tahun hadapan iaitu SRA Denai Alam dan SRA Ehyaul Falah, Sabak Bernam. Sebanyak 2 buah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) juga dijangka akan disiapkan pada tahun hadapan iaitu MITS Pandan Indah, Hulu Langat dan MITS Bagan Lalang, Sepang. Selain itu, turut dijangka siap pembinaannya pada tahun hadapan ialah Kompleks Islam Daerah Kuala Langat dan Akademi Syahadah Tahfiz Al Faizin, Kuala Selangor.

Sejajar dengan usaha untuk meningkat kemajuan ummah dalam aspek duniawi dan juga ukhrawi, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi tujuan pembangunan Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi, Pandan Indah, Hulu Langat. Selain daripada itu, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi, Bagan Lalang.

PROGRAM FAST TRACK UNTUK PELAJAR TAHFIZ Program Fast Track Tahfiz merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasakan Pendidikan Pelajar Tahfiz di Negeri Selangor. Inisiatif ini terbuka kepada pelajar-pelajar tahfiz yang menuntut di Negeri Selangor untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar mereka mendapat peluang untuk menceburi bidang profesional dan teknikal di masa hadapan

Setelah mereka memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka akan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran institusi pengajian tinggi di bawah kerajaan negeri iaitu Pusat Pembanguan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor,Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), Kolej Universiti Islam Antrabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Selangor.

Bagi pelaksanaan Program khas Fast Track Tahfiz ini Kerajaan Negeri akan memberi penajaan kepada mereka yang layak dengan penajaan yuran pengajian dan penginapan dengan sasaran peserta seramai 200 orang pelajar dengan kos RM2 juta.

PROGRAM TAHFIZ TVET/ IKTISASS Di samping itu juga Kerajaan Negeri memperkenalkan pelaksanaan Program Tahfiz TVET/IKTISASS yang akan menyediakan ekosistem dan struktur pembelajaran

teknikal yang bersilibus dan memberi pengiktirafan sijil profesional kepada pelajar tahfiz.

Program ini akan melahirkan golongan tahfiz yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukan sebanyak RM2 juta bagi membiayai latihan jangka pendek kepada graduan-graduan tahfiz ini.

STRATEGI KETIGA : MEMACU PENCIPTAAN NILAI DAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Usahawan yang berkualiti dan berdaya saing merupakan enjin kepada penciptaan nilai atau value creation di dalam kemajuan ekonomi. Kerajaan Negeri percaya pembangunan usahawan perlu digiatkan lagi kerana di tengah ketidaktentuan pandemik ini ada peluang yang yang dapat dihidu bagi mereka yang cekap dan cekal.

Program- Program Keusahawanan

Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM6.08 juta (Ringgit Malaysia: Enam Juta Lapan Puluh Ribu Sahaja) pada tahun 2021 untuk memperkukuh serta menambahbaik pelaksanaan program-program keusahawanan Negeri Selangor.

Berikut adalah program keusahawanan yang akan dilaksanakan. Pertama, Klinik Usahawan Selangor yang bertindak sebagai pusat sehenti untuk para usahawan mendapatkan bimbingan dan kaunseling.

Kedua, Program Promosi Usahawan dengan matlamat membantu mempromosi dan memasarkan produk dan perkhidmatan usahawan di Selangor.

Ketiga, Program Dana Usahawan Mikro Selangor melalui penawaran bantuan berbentuk peralatan bagi memenuhi tujuan pengkomersilan produk dan bantuan dana untuk memajukan perniagaan usahawan-usahawan mikro di negeri Selangor.

Keempat, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, inisiatif khusus untuk membantu warga miskin dari kalangan penjaja, peniaga dan bekerja sendiri di dalam Negeri Selangor. Setelah 12 tahun, program ini telah mengupayakan tahap sosio-ekonomi seramai 4,506 peniaga-peniaga kecil di Selangor dengan meningkatkan pendapatan dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan ke tahap yang lebih baik.

Kelima, Program Pembinaan Usahawan India. Program ini akan menyediakan latihan keusahawanan, kursus kemahiran pembuatan, pemberian geran peralatan dan juga program “GROW” yang berteraskan konsep bimbingan. Program ini disusun agar

mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan kaum India di Negeri Selangor melalui dana RM 1 juta yang diperuntukkan.

Tuan Speaker, Ahli Yang Berhormat sekalian,

HIJRAH

Sehingga kini, HIJRAH telah berjaya menyalurkan pinjaman sebanyak RM517 juta yang berjaya membantu seramai 53,958 usahawan. Dengan kadar bayaran balik pinjaman melebihi 70%, HIJRAH berjaya menjana dana pusingan untuk menambahkan lagi jumlah pinjaman dan seterusnya meningkatkan bilangan usahawan baru. lni bermakna program HIJRAH adalah mampan dan feasible.

Sepanjang tempoh PKP, HIJRAH Selangor telah melaksanakan moratorium selama 3 bulan bermula 20 Mac sehingga 14 Jun 2020. Jumlah kutipan bayaran balik sepatutnya sepanjang moratorium adalah sebanyak RM70.147 juta dengan jumlah pembiayaan caj yang tidak dikutip adalah sebanyak RM3.5 juta.

Bagi tahun 2021, untuk tujuan membantu para peniaga kecil, penjaja yang baru mula berjinak dalam bidang keusahawanan, Kerajaan Negeri memperkenalkan satu inisiatif khas yang diberi nama Niaga Darul Ehsan (NaDi).

Melalui program NaDi HIJRAH, pemohon hanya perlu memohon lesen daripada PBT untuk menjalankan aktiviti perniagaan tanpa perlu mengemukakan sijil SSM. Seterusnya mereka layak untuk memohon pinjaman serendah RM1,000 sehingga RM3,000 tanpa perlu mempunyai premis tetap seperti perniagaan dalam talian. Namun, peniaga-peniaga ini masih perlu mendapatkan sijil SSM dalam tempoh 6 bulan. Jika mereka gagal mendapatkan sijil SSM dalam tempoh tersebut, maka lesen PBT mereka tidak akan diperbaharui.

Manakala Skim Pinjaman Zero To Hero ditawarkan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan dengan pengecualian dokumen seperti lesen niaga dan sijil SSM. Kedua-dua pinjaman ini terbuka kepada rakyat Selangor yang berumur 18 tahun hingga 60 tahun.

Menyedari keperluan membantu memperkasa HIJRAH, maka Kerajaan Negeri bersetuju memberikan peruntukan secara pinjaman sebanyak RM15 juta. Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian,

PENDIDIKAN Melestarikan Pendidikan Tinggi

Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah institusi pengajian tinggi yang tertinggi di Malaysia melebihi daripada 150 institusi pengajian tinggi. Selangor turut mempunyai kelebihan tersendiri kerana mempunyai institusi pendidikan tinggi di bawah Kerajaan Negeri Selangor iaitu Universiti Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, Selangor Technical Skills Development Centre (STDC).

Kerajaan Negeri akan memperkasa ketiga-tiga institusi mengikut kepakaran masing-masing melalui penglibatan tiga pihak berkepentingan iaitu kerajaan, institusi dan industri. Sebanyak RM29.2 juta akan disediakan bagi memperkasakan pengajian tinggi. Pinjaman UniSEL & KUIS Menyedari kepentingan UniSEL & KUIS, Kerajaan Negeri akan menyediakan sebanyak RM35 juta peruntukan secara pinjaman untuk kedua-dua Institut Pengajian Tinggi ini. Ini adalah untuk memastikan fungsi UNISEL dan KUIS dapat diteruskan dengan lancar di samping membolehkan UNISEL dan KUIS merancang semula urusan-urusan komersial bagi meningkatkan hasil dan potensi kewangan kedua-dua universiti ini. Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU)

Memahami kesukaran serta kedudukan kewangan ibu bapa pelajar kesan daripada pandemik Covid-19 dan bagi menarik minat para mahasiswa untuk melanjutkan pelajaran di univeristi-universiti milik Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan program ‘Bantuan Yuran Asas Universiti’ (BAYU) iaitu pelepasan bagi yuran asas kepada pelajar-pelajar UNISEL dan KUIS pada tahun 2021. Sebanyak RM 4 juta diperuntukkan bagi tujuan ini.

Kursi Menteri Besar Selangor - UPM

Komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam memperkasakan Pengajian Tinggi di Selangor diterjemahkan dengan jalinan kerjasama antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Jalinan kerjasama ini akan membawa kepada penubuhan sebuah Kursi Profesor yang dinamakan sebagai Kursi Menteri Besar Selangor.

Justeru, bagi menjayakan jalinan kerjasama melalui pewujudan Kursi Menteri Besar Selangor ini, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi penubuhan kursi ini. Kerajaan

Negeri optimis bahawa penubuhan kursi ini akan memperkasakan pendidikan tinggi Negeri Selangor dalam aspek kajian dan penyelidikan dalam bidang ekonomi, kewangan dan keusahawanan seterusnya memberi impak untuk memacu ekonomi negeri.

Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor & BITARA

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi tujuan pembiayaan pendidikan melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor. Sejumlah RM1 juta juga diperuntukkan khas bagi pelaksanaan Program Khas Selangor BITARA.

Berikutan wabak COVID-19, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk memberikan kemudahan moratorium secara automatik kepada semua peminjam di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor. Moratorium ini telah diberikan selama enam (6) bulan iaitu bermula April 2020 sehingga September 2020. Moratorium ini telah memanfaatkan seramai 3,991 peminjam dengan jumlah pinjaman RM6 juta.

Program Tuisyen Rakyat

Bagi tahun 2021, Program Tuisyen Rakyat Selangor akan diteruskan dengan peruntukan RM13 juta memandangkan golongan sasar PTRS mempunyai akses yang terhad untuk pembelajaran secara online. Namun begitu, kesan daripada pandemik yang berlaku elemen pembelajaran dalam talian dengan bimbingan guru perlu diterapkan dalam PTRS agar pembelajaran lebih efektif walaupun kita masih dalam situasi pandemik COVID-19.

Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Sosial

Pembangunan Modal Insan di Negeri Selangor adalah antara komponen penting dalam melahirkan rakyat Selangor yang cemerlang yang mampu menjadi aset berharga dan menyumbang kepada Negeri Selangor. Bagi tujuan ini, sebanyak RM2.41 juta telah diperuntukkan.

Kerajaan Negeri juga akan memberikan penumpuan terhadap masalah pengangguran dengan menyediakan platform dan ruang bagi golongan anak muda untuk mendapatkan pekerjaan dengan menghimpunkan syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan melalui program Selangor Job Fair.

Dengan kerjasama yang erat bersama JobsMalaysia, program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini malah juga dapat memenuhi keperluan syarikat-syarikat bagi tenaga kerja khususnya di tahap kritikal dengan mendahulukan penglibatan di kalangan warga tempatan.

IKTISASS

Kerajaan Negeri merancang akan mewujudkan inkubator-inkubator bagi memberi pendedahan kepada pelatih/pelajar mengenai pengalaman kerjaya dalam industri. Melalui pelaksanaan program ini kerajaan negeri yakin ia akan mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada buruh asing. Program IKTISASS berperanan dalam melahirkan sumber tenaga manusia yang berdisiplin dan berdaya saing. Melalui bidang latihan yang akan dilaksanakan bukan sahaja memenuhi keperluan industri malah membina peluang pekerjaan baru kepada masyarakat.

Program IKTISASS diteruskan pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM15 juta dan akan mewujudkan kerjasama melalui perjanjian usaha sama antara industri antarabangsa dengan Institut IKTISASS bagi memastikan bidang latihan dapat memenuhi piawai antarabangsa melalui penyediaan pusat latihan di rantau Asia Tenggara.

Program IKTISASS ini juga bersifat holistik dan menyeluruh dengan penglibatan STDC bagi melengkapkan ekosistem TVET di mana peserta akan mempelajari kemahiran, menjalani latihan serta memperoleh peluang pekerjaan untuk melengkapkan kitaran yang dirancang.

Program RiDE

Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bahawa Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatin dengan trend ‘gig economy’ yang semakin meluas di Malaysia. Justeru, RiDE diteruskan pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM 2 juta bertujuan untuk membantu kira-kira 3,000 generasi muda untuk mendapatkan lesen kerjaya dan juga peluang pertambahan ekonomi melalui kegiatan e-hailing dan bukan sahaja dengan hanya pemberian-pemberian lesen.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Membanteras Dadah

Usaha kita dalam menanggani masalah harus kita teruskan. Masalah penagihan dadah turut menjadi fokus Kerajaan Negeri selaras dengan matlamat Selangor Sejahtera Tanpa Dadah. Berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2018 dan 2019 menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 6.9%

dari 14,743 individu kepada 13,722 individu. Manakala, perbandingan bagi tahun 2019 dan 2020, terdapat penurunan sebanyak 45.7% yang melibatkan remaja berumur dari kalangan berumur 13-18 tahun.

Usaha berterusan melalui kerjasama AADK, PEMADAM dan pelbagai pihak dalam melaksanakan program pencegahan dadah telah mula menunjukkan hasil yang positif.

Program Inisiatif Bersepadu Menangani Penyalahgunaan Dadah melibatkan tiga kawasan rintis di Selangor iaitu di Sabak Bernam, di Taman Medan, dan juga di Hulu Selangor yang dinamakan sebagai Program Total Enforcement Community Control (TECC) di kawasan fokus terutamanya di Desa Mentari dan beberapa kawasan tadi telah menunjukkan hasil yang baik.

Justeru pada tahun 2021 Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program TECC ini bukan lagi sebagai projek rintis tetapi akan dilaksanakan di 13 lokaliti kawasan hotspot yang dikenalpasti AADK dan bagi memberikan sokongan kepada AADK dan PEMADAM memastikan usaha merancang, melawan dan menghapuskan penyalahgunaan dadah secara total. Sejumlah RM 1 juta diperuntukkan kepada PEMADAM pada tahun 2021.

Ahli Yang Berhormat sekalian, Pembangunan Generasi Muda dan Sukan

Kerajaan Negeri amat komited dalam Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Negeri Selangor. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM34.9 juta bagi memastikan agenda pembangunan generasi muda dan sukan dilaksana secara progresif dan holistik.

Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan menambahbaik Dasar Belia Selangor 2014 dengan membentuk Dasar Belia Selangor 2020 yang akan menjadi panduan dan hala tuju pembangunan generasi muda bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Di samping itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.83 juta dalam usaha untuk memartabatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang merupakan agen penggerak ke arah pembangunan Negeri. Ini termasuk usaha menambahbaik Garis Panduan Penggerak Belia Tempatan yang akan dijadikan sebagai asas gerak kerja PeBT dan juga sebagai satu panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang.

Program Pembangunan Sukan

Sebagai negeri yang terkenal dengan kejayaan dalam bidang sukan, Kerajaan Negeri beriltizam untuk terus mengekalkan kecemerlangan kontinjen Selangor terutama menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan dilaksanakan bulan Mac tahun hadapan. Oleh itu, bagi tujuan pembangunan sukan pada tahun 2021, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 27.9 juta.

Dalam meningkatkan aspek pembangunan sukan dan aktiviti–aktiviti kesukanan bagi melahirkan generasi muda yang sihat, aktif dan berdaya saing, Kerajaan Negeri akan meneruskan Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Infrastruktur Sukan di Negeri Selangor dengan memperuntukkan sebanyak RM2.24 juta seperti tahun-tahun sebelum ini.

Demi melahirkan atlet berkualiti bagi mewakili negara, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) akan terus melaksanakan Program Pembangunan Sukan. Program ini berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru dari akar umbi secara menyeluruh dan melibatkan keseluruhan pemegang taruh ke arah satu objektif iaitu ‘Selangor Peneraju Kecemerlangan Sukan’ selain melakukan persiapan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2022.

Sukan Bola Sepak

Bola sepak di Negeri Selangor mempunyai sejarah dan tradisi yang tersendiri. Ini dibuktikan melalui kejayaan berkali-kali pasukan Selangor sebagai juara Piala Malaysia. Dalam memastikan kesinambungan program pembangunan bola sepak profesional serta berbekalkan misi mengembalikan kegemilangan pasukan Merah Kuning di negeri Selangor, penggabungan di antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersama PKNS FC telah diputuskan pada 9 Oktober 2019 diikuti pengiktirafan penggabungan ini oleh Malaysian Football League (MFL) melalui pemeteraian Perjanjian Perkongsian Rakan Kongsi Liga pada 18 Disember 2019.

Sejarah tercipta pada 30 September 2020 apabila permohonan untuk menswastakan pasukan bola sepak profesional Selangor diluluskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi tujuan pembangunan bola sepak di Negeri Selangor. RM10 juta dari peruntukan ini dari Kerajaan Negeri dan RM10 juta lagi adalah sumbangan daripada MBI dan PKNS. Pelancongan

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang teruk kepada sektor pelancongan. Sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap situasi yang sedang melanda,

Kerajaan Negeri melalui Pelan Pemulihan Ekonomi telah mengambil beberapa inisiatif bagi membantu meredakan kesukaran yang dihadapi oleh beberapa kelompok yang terjejas seperti pemandu pelancong, hos komuniti setempat dan pengusaha homestay berlesen di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 5.85 juta pada 2021 untuk tujuan pembangunan dan merancakkan kembali industri pelancongan Negeri Selangor.

Tourism Selangor akan terus mempergiatkan kempen promosi dan pelaksanaan acara pelancongan yang berimpak tinggi dalam usaha mengembalikan momentum sektor pelancongan negeri.

Bagi memperkasakan kempen promosi pelancongan domestik, Kerajaan Negeri menganjurkan Kempen Promosi Pelancongan “Pusing Selangor Dulu” yang bakal menarik minat rakyat melancong di Selangor.

Selain daripada permintaan dalam negara, Kerajaan Negeri turut menyedari potensi besar yang boleh dimanfaatkan daripada ‘creative tourism’. Lokasi jelapang padi seperti Sekinchan, bangunan-bangunan kolonial di Kuala Kubu Bharu contohnya menjanjikan peluang perfileman antarabangsa yang besar kepada para penggiat seni, dan boleh menjadi satu lagi hasil pendapatan untuk negeri. MENEROKA POTENSI INDUSTRI KREATIF

Industri kreatif mempunyai potensi yang besar di dalam pembangunan terhadap ekonomi dan juga kebudayaan negara. Lantaran itu Kerajaan Negeri mengorak langkah awal dengan memperkenalkan dan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memenuhi maksud tersebut. Pengurangan Duti Hiburan

Kerajaan Negeri menyedari bahawa mereka yang terlibat di dalam seni persembahan berhadapan dengan cabaran yang tidak menentu di dalam tempoh pandemik ini. Sehubungan dengan itu mulai 1 Januari 2021, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan pengurangan kadar Duti Hiburan daripada 25% kepada 15% khusus bagi penganjuran aktiviti kesenian atau pementasan bertiket artis tempatan.

Dengan langkah ini, diharapkan dapat membantu para penggiat seni tempatan dalam meningkatkan produktiviti, kualiti serta daya saing mengatasi artis luar negara.

Pusat Penciptaan Kandungan (Content Creation Centre)

Negeri Selangor beruntung kerana menjadi tuan rumah kepada studio-studio animasi bertaraf dunia seperti Wau Animation, Les Copaque dan Animonsta. Ditambah lagi dengan kewujudan universiti berlatarkan latihan multimedia seperti MMU, Taylor’s dan lain-lain, seluruh ekosistem kandungan wajar diperkemaskan dengan pemadanan antara bakat sedia ada dengan pasaran.

Justeru, Kerajaan Negeri bercadang untuk bergiat dengan lebih aktif dalam memperkaya industri kreatif dengan pemerkasaan Yayasan Seni Selangor melalui kerjasama pintar dengan agensi digital yang lain seperti MDEC, SIDEC dan lain-lain.

Bakat Muda Selangor

Kerajaan Negeri percaya bahawa pembangunan bakat adalah amat penting ke arah pembangunan masyarakat yang kreatif dan berdaya saing. Semenjak tahun 2015, Rumah Seni Selangor telah menganjurkan program residensi bakat muda, pameran seni lukis dan juga aktiviti-aktiviti pendidikan seni bersama dengan masyarakat. Untuk mengukuhkan lagi agenda pembangunan bakat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk program Bakat Muda Selangor yang merangkumi program pembangunan bakat di dalam seni lukis, muzik dan sastera.

STRATEGI KEEMPAT : MEMPERKASA KEMAMPANAN ALAM SEKITAR, SUMBER DAN RANTAIAN BEKALAN MAKANAN

Tuan Speaker,

Satu lagi aspek yang diuji dan terkesan akibat COVID-19 adalah kemapanan sistem ekonomi kita, khususnya sumber dan rantaian bekalan makanan, serta alam sekitar. Bermula dari kedai runcit dan warung makanan kepada syarikat multinasional; semuanya terkesan apabila negara di seluruh dunia mula menutup pintu masuk di lapangan terbang antarabangsa masing-masing.

Rantaian bekalan yang merangkumi makanan serta barangan lain mula menghadapi tekanan. Di Malaysia, kita berada di posisi yang lebih unik disebabkan ketidakbergantungan kita kepada satu sumber sahaja apabila mengimport makanan. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak harus alpa. Keselamatan makanan harus dipertingkatkan lagi.

Kita tidak boleh kembali kepada keadaan sebelum ini. Kita harus ambil ikhtibar dan pastikan Selangor mampu menghadapi krisis atau pandemik masa hadapan.

Selain aspek keselamatan makanan yang saya katakan tadi, kemampanan sumber alam sekitar serta air harus dan akan menjadi kepentingan Kerajaan ini.

Umum diketahui cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan industri apabila berlakunya gangguan terhadap bekalan air pada tahun ini. Rungutan dan cadangan ini sudah pasti diambil serius oleh saya dan seluruh pasukan di Selangor dan hari ini saya akan mengumumkan beberapa solusi.

Bagi inisiatif-inisiatif di bawah Strategi Keempat, iaitu Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rangkaian Bekalan Makanan, sebanyak RM360.52 juta diperuntukkan.

Pembangunan Projek Bekalan Air

Selepas perjanjian konsesi air berjaya ditamatkan pada tahun lalu, seluruh industri perkhidmatan air kini diurus oleh operator tunggal, iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor). Ini telah membuahkan hasil dalam usaha merungkai masalah penyelenggaraan yang sebelum ini memberi impak kepada pengusaha industri dan rakyat Selangor.

Air Selangor telah berjaya menurunkan kadar NRW (Air Tidak Berhasil) dari 33.2 % pada tahun 2017 kepada 29.6 % pada tahun 2019. Seterusnya Air Selangor menyasarkan penurunan NRW kepada 25% pada tahun 2025. Bagi merealisasikan sasaran ini, ia akan melibatkan kerja-kerja penggantian paip utama yang dianggarkan sepanjang 6000 km di seluruh Negeri Selangor termasuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Air Selangor turut menyasarkan pelaksanaan penggantian paip-paip usang berdasarkan kepada pemilihan hotspot kawasan kekerapan paip pecah dengan nisbah 150km paip setahun. Sehingga kini, sebanyak 303 hotspot merangkumi 716km paip telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah Program Penggantian Paip bagi tahun 2016 hingga 2020. Kos yang telah dibelanjakan bagi tahun 2016 hingga 2019 adalah sebanyak RM529 juta dan bagi tahun 2020 hingga 2022 adalah sebanyak RM579 juta.

Antara usaha lain Air Selangor mempertingkatkan perkhidmatannya adalah dengan membangunkan Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa 2 serta Loji Rawatan Air Sg Rasau yang dijangka dapat meningkatkan margin bekalan air di Negeri Selangor kepada sekurang-kurangnya 15% menjelang tahun 2030.

Kerajaan Negeri menyeru supaya rakyat Negeri Selangor sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat termasuk di dalam penggunaan air. Penggunaan air per kapita di Selangor adalah 222 liter setiap hari, lebih tinggi daripada purata negara pada 201 liter serta piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu 165 liter sehari. Cara dan gaya hidup kita harus berubah dengan memikirkan air sebagai antara sumber amat penting yang harus ditangani secara mampan.

Dalam melaksananakan Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2020, seramai 250,000 pengguna telah menikmati skim ini yang mana kos pembiayaan SADE ini juga mengguna pakai konsep cost sharing dengan Air Selangor. Konsep cost sharing ini membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan semula peruntukan Negeri bagi projek pembangunan bekalan air. Sepanjang tempoh pelaksanaan program air percuma ini dilaksanakan, jumlah yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri bagi sehingga 31 Disember 2019 adalah sebanyak RM 1.8 bilion. Sejumlah RM40 juta telah diperuntukkan di bagi membiayai kos SADE bagi tahun 2021. Penyelesaian Isu Pencemaran Air

Pencemaran air mentah akhir-akhir ini berlaku dengan kerap melibatkan Sungai Selangor dan Sungai Langat hingga menyebabkan Loji Rawatan Air terpaksa dihenti tugas yang akhirnya bekalan air kepada pengguna terjejas.

Oleh yang demikian, dalam usaha untuk mengatasi berlakunya insiden pencemaran ini di masa hadapan, Kerajaan Negeri Selangor telah merancang beberapa langkah seperti berikut:

Pertama, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 untuk meningkatkan bayaran denda bagi kesalahan pencemaran sumber air. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi Total Maximum Daily Load (TMDL), di kawasan yang ditetapkan selaras seksyen 56, Enakmen LUAS 1999 dan pelaksanaan Polluters Pay Principle (PPP). Cadangan pindaan Enakmen LUAS akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan di dalam Persidangan DewanNegeri.

Kedua, pelaksanaan Projek Perintis Rawatan Biologikal/Bio-Remediation Bagi Tujuan Pemuliharaan Kualiti Air Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti perletakan bahan nanoteknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS). Projek perintis ini turut akan direplikasikan di Sungai Sembah, Sungai Beranang dan Sungai Buah. Kerajaan Negeri, LUAS dan Air Selangor telah mengenal pasti tiga sungai ini yang menjadi punca utama pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Ketiga, pemantauan dan Pengawasan melalui skuad PANTAS bagi membuat pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menambahkan bilangan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal di hulu muka sauk yang berisiko.

Keempat, dalam usaha untuk menjamin tiada henti tugas ke atas operasi LRA SSP 1, 2, 3, LRA Rantau Panjang LRA Semenyih semasa berlaku insiden pencemaran sumber air, Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih.

Dengan pelaksanaan empat projek ini yang akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan. Kerajaan Negeri memperuntukkan kos sebanyak RM200 juta. Kita yakin ini dapat mengurangkan sehingga 90% risiko henti-tugas Loji Rawatan Air SSP1, 2, 3, LRA Rantau Panjang dan LRA Semenyih 1 dan 2 yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada 1.6 juta akaun pengguna akibat pencemaran.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut mengambil beberapa langkah tambahan seperti melaksanakan pertama) tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas bagi memastikan rumah-rumah, kilang-kilang terutamanya kilang haram berhampiran tebing sungai dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan anak-anak sungai dan sungai-sungai di Negeri Selangor.

Kedua, memperkemaskan lagi pemantauan lembangan sungai melalui tindakan-tindakan pengawasan termasuk dengan penggunaan dron, pengurusan data dan analisis kecerdasan buatan (artificial intelligence); dan data ini akan disalurkan secara real-time ke Command Centre.

Ketiga, Penubuhan Jawatankuasa Khas bagi memantau dan memastikan air sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah sarap yang boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air.

Ketiga, menyegerakan cadangan pembangunan air mentah Sungai Rasau sebagai sumber air baharu bagi mengurangkan penggantungan kepada bekalan air dari Sungai Selangor.

Keempat, Kerajaan Negeri melalui LUAS akan menubuhkan Skuad Pantas LUAS bersama pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. bagi mengelakkan gangguan bekalan air pada masa hadapan. Bagi tujuan ini, penambahbaikan Operasi Bersepadu Sumber Air Negeri Selangor akan diteruskan melalui insentif khas dan pertambahan jumlah perjawatan bagi kakitangan LUAS untuk rondaan 24 jam melalui tindakan bersepadu LUAS.

Skuad Pantas LUAS bertanggungjawab melaksanakan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimakan risiko henti tugas loji pembersihan air (LPA).

Skuad pantas LUAS juga adalah urusetia Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor dan melaksanakan penyelarasan serta koordinasi tindakan kawalan segera jika berlaku kecemasan pencemaran sumber air bersama agensi dan pihak berkepentingan selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor.

Skuad itu juga akan menyelaras pemantauan dan pensampelan berkala seperti Kajian Kebersihan di lembangan sungai bagi pemantauan status kualiti air dan penyediaan Laporan Pemantauan Lembangan Sungai.

Friends Of River Salah satu inisiatif pemuliharaan sungai yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri adalah pewujudan Friends of River (FoR) di setiap sungai-sungai di Negeri Selangor. Sehingga kini sekurang-kurangnya 44 FoR telah ditubuhkan di Negeri Selangor.

FoR menumpukan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai oleh komuniti-komuniti sungai dan setempat (community empowerment). Inisiatif ini akan diteruskan pada tahun 2021 dengan suntikan sebanyak RM1 juta. Pengurusan Sisa Pepejal Kawasan Desa

Isu longgokan sampah yang tidak terkawal di kawasan kampung serta pembuangan sampah oleh pihak-pihak luar yang tidak bertanggungjawab masih terus menjadi ancaman kepada kelestarian alam sekitar. Masalah longgokan sampah yang tidak dikawal ini mewujudkan pelbagai kesan terhadap persekitaran dan juga kehidupan rakyat.

Antaranya mendatangkan masalah bau busuk, longgokan sampah yang berterabur apabila diselongkar oleh haiwan liar yang mencari makanan sehinggalah kepada masalah yang lebih serius seperti pencemaran sungai. Ini berlaku apabila leachate (air sampah) dari longgokan sampah ini memasuki aliran longkang dan seterusnya memasuki sungai.

Akibat daripada itu, terdapat loji rawatan yang terpaksa ditutup apabila berlakunya pencemaran bau. Apabila loji-loji rawatan ini terpaksa ditutup, gangguan bekalan air terpaksa dihadapi oleh rakyat negeri ini.

Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membina kebuk-kebuk sampah di kampung tradisi agar pembuangan sampah dapat dikawal dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan alam sekitar. Pertanian

Kerajaan Negeri Selangor menggariskan lima teras utama bagi pembangunan pertanian iaitu; pertanian bernilai tinggi, mesra alam & lestari, penggunaan teknologi & IoT, pembangunan modal insan dan agropelancongan. Kesemua lima teras yang digariskan adalah untuk memastikan golongan petani yang terlibat dalam sektor ini mendapat hasil pulangan pendapatan yang lumayan dan menggalakkan lebih ramai menceburi sektor pertanian.

Persaingan penggunaan tanah pertanian dengan industri dan penempatan menyebabkan banyak tanah pertanian ditukar status. Tanah pertanian bagi tujuan pengeluaran makanan hanya merangkumi 12% daripada keseluruhan jumlah tanah di Selangor. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian di dalam Belanjawan 2021 memfokuskan kepada pertanian bernilai tinggi yang mampu memberi hasil yang lumayan di dalam kawasan yang kecil.

Oleh itu Kerajaan Selangor memberi fokus kepada penggunaan teknologi yang dapat menghasilkan pulangan yang tinggi untuk kawasan yang terhad seperti teknologi fertigasi, hidroponik, nutrient film technique (NFT), plant factory, teknologi persekitaran terkawal dan akuaponik. Penggunaan IoT juga dititikberatkan bagi memastikan sektor pertanian tidak ketinggalan daripada IR 4.0. Untuk inisiatif-inisiatif ini, sebanyak RM26.4 juta diperuntukkan.

Kemudahan Penyimpanan Makanan PKPS

Sebagai sebahagian daripada perkongsian pintar antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan agensi persekutuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), PKPS sedang mengenalpasti lokasi-lokasi strategik di Selangor Fruits Valley yang akan dibangunkan sebagai Kemudahan Penyimpanan Makanan atau PO (Pusat Operasi). Kemudahan PO milik FAMA sudah sedia beroperasi di tiga lokasi di Selangor yakni yang terbesar di Dengkil, diikuti Puchong dan Kuala Selangor.

Kemudahan yang terdiri daripada ‘cold room’, ‘chill room’ dan sebagainya akan membantu mengekalkan hasil tanaman yang telah dikutip, selaras dengan perincian teknikal yang digariskan FAMA.

Kerjasama pintar ini turut merangkumi perkongsian data pasaran, pengkalan data pembekal, petani serta penggunaan rangkaian pemasaran termasuk pasaran antarabangsa bagi memastikan jaminan bekalan makanan di Selangor berkekalan. FAMA turut bersedia untuk mengaktifkan kesemua kemudahannya untuk rakyat Selangor sewaktu darurat atau kecemasan, lebih-lebih lagi di zaman wabak COVID-19.

Pertanian Komuniti

Kelangsungan makanan di kawasan-kawasan bandar akan dipertingkatkan lagi oleh Kerajaan Negeri dengan menggalakkan komuniti-komuniti tempatan untuk terlibat sama supaya food security negeri Selangor dipelihara. Sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk pertanian secara komuniti bagi komuniti-komuniti yang berjaya menampilkan model yang inovatif.

Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat sekalian, STRATEGI KELIMA : MERANCAKKAN PEMULIHAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN INDUSTRI Ekosistem ekonomi yang kondusif disertai dengan kemudahan infrastruktur dan dasar mesra pelabur telah menjadi ciri unggul Negeri Selangor. Namun begitu sudah tentu untuk keluar daripada cabaran pandemik ini dasar dan inisiatif baharu perlu dirangka agar Negeri Selangor terus menjadi destinasi utama pelaburan di Malaysia yang stabil dan dapat mencipta peluang perkerjaan yang lebih berkualiti kepada rakyat seluruhnya.

Antara dasar progresif yang disambut baik di kalangan komuniti perniagaan adalah Dasar Kelulusan 100 Hari bagi merancakkan sektor pembinaan dan pelaburan di Negeri Selangor. Sejak dasar ini diperkenalkan, sebanyak enam permohonan projek telah diluluskan yang memberikan nilai pembangunan mencecah sebanyak RM 216 juta.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri merangka inisiatif-inisiatif berikut untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan pelaburan di negeri ini.

SELANGOR BUSINESS HUB

Penubuhan gerbang perniagaan maya “Selangor Business Hub” adalah alternatif bagi aktiviti-aktiviti promosi pelaburan dan perindustrian Negeri Selangor, berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada masa kini

Selangor Business Hub ini akan merangkumi empat komponen utama iaitu Investment Promotion Portal di mana melibatkan akitiviti-aktiviti penggalakan pelaburan secara webinar bersama rakan industri dari dalam dan luar negara, mesyuarat dan business matching sessions bersama pelabur yang berpotensi secara online.

Manakala Virtual Selangor International Business Summit, merupakan penganjuran persidangan antarabangsa terbesar negeri Selangor yang bakal menghimpunkan empat program utama SIBS, webinar dan juga sesi pemadanan perniagaan.

Selangor Halal Business Hub merupakan Platform Informasi Halal yang bakal dibangunkan melalui Selangor Halal Action Plan yang akan membantu usahawan-usahawan negeri mendapatkan sijil halal untuk produk-produk mereka.

Selangor International Business Summit (SIBS)

Dalam usaha untuk mempromosikan dan mengukuhkan Negeri Selangor sebagai hub perdagangan, Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor Berhad akan menganjurkan sidang kemuncak antarabangsa iaitu Selangor International Business Summit (SIBS) 2021 dengan peruntukan sebanyak RM11 juta.

Antara objektif program ini diadakan adalah untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Hub Perdagangan Global di rantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.

INDUSTRI AEROANGKASA

Selangor Aviation Showcase 2021

Selaras dengan Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor, di antara segmen aktiviti yang dikenalpasti untuk dipromosikan adalah Business Aviation dan General Aviation. Sehubungan itu, penganjuran acara ini adalah bertepatan untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan segmen aktiviti ini di Subang.

Sektor ini mendapat permintaan ekoran pandemik COVID-19 yang membataskan penerbangan komersil. Peruntukan sebanyak RM2 juta akan disediakan. Penganjuran acara ini juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform bagi syarikat tempatan dan SME untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka sekaligus menerokai peluang pelaburan di dalam cabang aktiviti yang pelbagai.

PENGANGKUTAN AWAM

Bas Smart Selangor

Komitmen Kerajaan Negeri Selangor di dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan awam direncanakan secara berterusan agar sektor pengangkutan awam akan menjadi pilihan utama rakyat dalam jangka masa yang panjang. Jaringan pengangkutan awam yang ada mahupun sedang atau akan dilaksanakan di Negeri Selangor adalah faktor penting dalam peningkatan serta keseimbangan ekonomi. Data penumpang bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor sejak dilaksanakan iaitu pada 1 Julai 2015 hingga 31 Ogos 2020 adalah sebanyak 51.7 juta penumpang.

Peningkatan jumlah ini dari semasa ke semasa menggambarkan sambutan yang baik terhadap perkhidmatan Bas Smart Selangor yang mendorong masyarakat untuk terus menggunakan pengangkutan awam yang disediakan sekaligus mampu mencapai sasaran pelan induk pengangkutan awam Negeri Selangor

Bagi kelangsungan Bas Smart Selangor, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM25 juta untuk perkhidmatan ini diteruskan oleh 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor. Manakala RM5 juta akan ditampung oleh PBT sebagai perkongsian kos di antara Kerajaan Negeri dan PBT yang mempunyai lebihan rizab tunai yang baik dan berkemampuan untuk menanggung kos perkhidmatan bas ini di masa akan datang.

Tanggungan bersama ini adalah sebagai langkah menggalakkan PBT untuk mempelbagaikan usaha yang akan memberi lebih manfaat kepada rakyat untuk terus menikmati kemudahan pengangkutan percuma yang disediakan. Kerajaan Negeri akan melancarkan Tap to Ride pada Disember 2020 dan seterusnya warga asing akan dikenakan caj tambang sebanyak RM0.90 sebagaimana yang telah diumumkan pada Belanjawan yang lalu.

Kutipan caj bayaran perkhidmatan yang diterima ini akan digunakan untuk menampung kos penyelenggaraan bas, menambahbaik kualiti perkhidmatan Bas Smart Selangor, serta penambahan bilangan dan laluan bas pada masa akan datang. Pembangunan Infrastruktur

Kerajaan Negeri berazam merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan jaringan jalan raya yang lebih meluas. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri menyediakan sejumlah RM170 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pelaksanaan projek-projek jalanraya tahun 2021.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8.1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan Jambatan Dan Jejantas seperti Jambatan Rantau Panjang Kuala Selangor dan Jambatan Sg Kundang Gombak yang masih dalam pembinaan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan projek penggantian jambatan yang telah rosak iaitu Membina Jambatan Di Kg. Sungai Buah, Daerah Sepang dan Membina Jambatan Di Atas Sungai Serigala, Laluan B44 Jalan Hulu Bernam - Sungai Besar, Hulu Selangor bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Sebanyak RM36 juta diperuntukkan pada tahun 2021 untuk menampung kerja-kerja pembinaan jalan baru yang sedang berjalan.

Selain itu Kerajaan Negeri Selangor juga memperuntukkan sebanyak RM103.4 juta bagi memastikan jalan-jalan sedia ada dapat menampung peningkatan aliran trafik semasa dan bagi mengatasi masalah kesesakan di jalan-jalan Negeri yang mana daripada jumlah ini, sebanyak RM80.0 juta diperuntukkan untuk projek menaiktaraf di peringkat pembinaan dan RM23.4 juta diperuntukkan bagi cadangan projek naiktaraf baru termasuk:

i. Menaiktaraf Jalan Di Jalan Bukit Rimau, Daerah Klang (Pakej 1).

ii. Cadangan Menaiktaraf Jalan Negeri B148 Jalan Telok Gong Dari

Persimpangan Glenmarie Cove Sehingga Ke Persimpangan Jalan Ikan

Tenggiri (Pakej 1); dan

iii. Jalan Reko Pakej 2 Daerah Hulu Langat.

iv. Menaiktaraf Jalan Ke SMK Tiram Jaya, Tanjung Karang, Kuala Selangor. v. Menaiktaraf Jalan B44, Jalan Sg. Panjang Dari Persimpangan Jalan Kuala Selangor - Telok Intan Ke Parit Empat Timur, Daerah Sabak Bernam

Di dalam perancangan pelaksanaan RMK-12 pihak Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bagi projek-projek baru yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa pelaksanaan projek perancangan, rekabentuk, dan pembinaan.

Cadangan projek ini melibatkan beberapa cadangan jajaran baru dan alternatif bagi meningkatkan kebolehcapaian dan sekaligus meningkatkan ekonomi. Di antara jalan cadangan jajaran baharu adalah seperti berikut;

i. Menaiktaraf Jalan Utama Seri Cheeding (B60) Ke Interchange Gamuda

Cove Dalam Daerah Kuala Langat - (Pakej 1)

ii. Menaiktaraf Jalan Dan Kerja-Kerja Berkaitan Dari Jalan Terusan Utama

B110 (Ban Canal) Sehingga Ke Jalan Raja Musa B42, Tanjong Karang,

Daerah Kuala Selangor

iii. Membina Jalan Dan Menaiktaraf Sebahagian Laluan Di Persiaran Bunga Raya Ke Jalan Widuri, Bukit Beruntung, Daerah Hulu Selangor iv. Membina Dan Menyiapkan Laluan Hijau Ke Bandar Baru Selayang (B23)

Bagi mencapai matlamat Smart State 2025, Kerajaan Negeri turut menekankan program yang berinovasi. Melalui peruntukan kajian Jabatan Kerja Raya, program aplikasi sistem Road Electrical Asset Communication & Telemetry (REACT) iaitu sistem pemantauan lampu isyarat secara berpusat dengan menggunakan Internet tools diteruskan dan diperluaskan ke seluruh negeri Selangor secara berperingkat.

Pihak Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan kerja-kerja awalan termasuklah kajian mengenai beberapa cadangan projek menaiktaraf jalan di Negeri Selangor yang melibatkan beberapa daerah.

Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa memastikan infrastruktur sedia ada lebih selamat dan dengan itu memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk Kerja-Kerja pembaikan cerun di jalan-jalan negeri.

Pembangunan Tebatan Banjir

Bertunjangkan objektif untuk memastikan penggunaan tanah yang optimum dan pengurusan sumber air negeri yang lebih cekap, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM78 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dalam usaha untuk memperkasakan pengurusan sumber air secara lestari.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM46.750 juta (Ringgit Malaysia: Empat Puluh Enam Juta Tujuh Ratus Lima Puluh Ribu Sahaja) untuk projek tebatan banjir mengikut lembangan sungai dalam usaha untuk memastikan keberkesanan dalam pengurusan pembangunan tebatan banjir.

Beberapa lembangan sungai utama yang terlibat adalah Lembangan Sungai Langat dengan peruntukan sebanyak RM21 juta, Lembangan Sungai Klang dengan peruntukan sebanyak RM10.3 Juta, Lembangan Sungai Selangor dengan peruntukan sebanyak RM7.5 juta dan juga Lembangan Sungai Buloh dengan peruntukan sebanyak RM2 Juta.

Projek-projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera terutamanya di Lembangan Sungai Langat kerana pada Julai 2020 telah berlaku banjir di Pekan Kajang dan Dengkil akibat daripada limpahan Sungai Langat.

Selain daripada itu, projek-projek tebatan banjir ini juga akan dilaksanakan secara sinergi dengan projek-projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan keberkesanan yang lebih holistik dalam menangani isu banjir di negeri Selangor.

Pembangunan Sistem Saliran

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM12.51 juta bagi tujuan pembangunan sistem saliran yang lebih bersepadu dan komprehensif.

Manakala bagi tujuan perancangan sistem saliran secara lebih bersepadu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor akan menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang melibatkan 5 kawasan yang telah dikenalpasti iaitu Klang Selatan dan Teluk Gong di Daerah Klang, Bandar Ampang di Daerah Hulu Langat, Puncak Alam di Daerah Kuala Selangor dan juga Sungai Besar di Daerah Sabak Bernam yang melibatkan kos sebanyak RM3 juta. Selain daripada itu, JPS Negeri Selangor juga akan melaksanakan projek Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Gong, Daerah Gombak dengan kos projek yang bernilai RM15 juta.

Pembangunan Benteng Pantai

Fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini telah menjejaskan benteng di kawasan pesisiran pantai terutama di kawasan Sabak Bernam dan juga Kuala Selangor. Oleh demikian, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.64 juta pada tahun 2021 bagi pelaksanaan projek menaiktaraf benteng pantai di kawasan terjejas. Menaiktaraf Infrastruktur Pihak Berkuasa Tempatan Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin, pembangunan bandar yang inklusif dan mesra pengguna di seluruh Negeri Selangor akan diberi penekanan. Ini bagi memastikan masyarakat boleh menikmati semua usaha pembangunan yang telah dijalankan serta mempunyai hak dan peluang yang sama dalam pembangunan ekonomi mahupun pembangunan fizikal dan sosial. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi menaiktaraf kemudahan asas dan kemudahan infrastruktur di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

PEMBANGUNAN YOUTH AND SPORTS CITY

Di samping pembinaan infrastruktur daripada kosong Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk melaksanakan projek rejuvenasi bandar terutama sekali di kawasan-kawasan

yang berpotensi tinggi tetapi mengalami kemerosotan dan kelusuhan akibat dimamah oleh usia.

Inisitatif ini dicadang untuk dilaksanakan di Perkarangan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 dengan nilai anggaran GDV bernilai RM8 Bilion. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan mengadakan kerjasama strategik bersama dengan pihak swasta secara Public-Private Partnership (PPP). Pembangunan Youth and Sports City haruslah berkonsepkan Green Urbanism yang berpaksikan kepada kelestarian alam dan bandar pintar

Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, PERUMAHAN Rumah Selangorku

Bagi memastikan kehidupan yang selesa, perumahan yang selesa juga wajar dilaksanakan. Sepanjang tahun 2020 (1 Januari – 31 Julai) sebanyak 4,750 unit Rumah Selangorku telah berjaya disiapkan. Keseluruhan unit Rumah Selangorku yang berjaya disiapkan dari tahun 2018 sehingga kini adalah sebanyak 14,497 unit.

Semasa pembentangan Pakej Selangor Prihatin Fasa 3 / Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 pada Dewan yang lepas, Kerajaan telah memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik yang dijangka mampu menambahkan stok Rumah Selangorku dengan sasaran tambahan sehingga 60,000 unit iaitu penambahan sebanyak 30,000 unit di pasaran untuk tempoh tiga (3) tahun melalui konsep Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.

Pengenalan konsep Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan adalah bersandarkan kepada keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan pada ketika ini yang memerlukan pemangkin untuk memacu fasa pemulihan setelah penularan wabak COVID-19 mula terkawal dalam merancakkan semula sektor pembinaan perumahan yang berdepan dengan masalah dan juga tekanan ketika ini.

Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik

Insentif ini akan membenarkan Pemaju meminda syarat daripada Rumah Selangorku Jenis A, Jenis B, Jenis C atau Jenis D kepada satu sahaja iaitu Rumah Selangorku Jenis Khas (E) yang berkeluasan minimum 1,000 kps pada harga jualan RM250,000 seunit serta dilengkapi dengan kelengkapan asas rumah seperti penghawa dingin, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air.

Insentif ini juga akan menarik minat pemaju untuk mempercepatkan pembinaan Rumah Selangorku serta seterusnya memperbanyakkan lagi stok rumah tersebut. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) melalui Rumah Selangorku Harapan dan Menteri Besar Incorporated (MBI) melalui Rumah Selangorku Idaman telah diamanahkan untuk menerajui kedua-dua konsep perumahan ini dimana pada masa yang sama selain rumah-rumah yang dibina Kerajaan Negeri juga mempunyai perumahan-perumahan ataupun mendapat unit-unit percuma yang kita akan laksanakan Program Skim Smart Sewa ataupun 2STAY.

Skim Smart Sewa

Program Skim Smart Sewa adalah bertujuan membantu golongan B40 dan M40 untuk menyewa pada kadar berpatutan terutamanya mereka yang sukar untuk mendapat pembiayaan dalam pemilikan rumah. Sejak dari tahun 2017 sehingga 2019 secara keseluruhannya sebanyak 799 unit telah dibeli, manakala 348 unit lagi akan dibeli secara berperingkat sepanjang tempoh tahun 2020 ini.

Ini menjadikan keseluruhan unit Skim Smart Sewa akan mencapai sebanyak 1,147 unit yang telah dan akan boleh ditawarkan kepada penyewa. Anggaran keseluruhan perbelanjaan yang telah dan akan dikeluarkan adalah sebanyak RM162.73 juta.

Untuk tahun 2021, sebanyak RM20 juta lagi akan diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Smart Sewa ini dengan menggunakan peruntukan Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera.

Program Smart Sewa to Ownership (2STAY)

Sebagai kesinambungan kepada Program Skim Smart Sewa, Kerajaan Negeri telah pun memperkenalkan “Skim Smart Sewa to Ownership (2STAY)”. Program ini merupakan insentif untuk membantu golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan serta sukar untuk mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah pertama.

Sebagai permulaan unit Rumah Selangorku yang diperolehi daripada unit kontra percuma di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan akan digunakan untuk pelaksanaan Program 2STAY ini. Sehingga kini, sebanyak 2,674 unit Rumah Selangorku telah diluluskan untuk diterima oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan “Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY)”. Sasaran Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya sebanyak 3,000 unit Rumah Selangorku di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan dengan nilai hartanah lebih daripada RM750 juta secara percuma akan diperolehi sehingga tahun 2023.

Program Pemberdayaan Komuniti

Kerajaan Negeri tidak menekankan semata-mata pembangunan dari aspek fizikal malah pakej rangsangan pembangunan komuniti juga turut diperkenalkan bagi membina masyarakat berdaya saing dan harmoni melalui penyediaan dan pembentukan kediaman yang selesa serta persekitaran kehidupan yang kondusif.

Bagi pelaksanaan program pemberdayaan komuniti, sebanyak RM15.3 juta telah diperuntukkan pada tahun 2021 yang akan memberi manfaat kepada 30 projek. Pecahan peruntukan merangkumi program CERIA (RM10 juta), program pemberdayaan komuniti yang lain (RM1 juta) dan baikpulih projek perumahan rakyat (RM4.3 juta).

Tuan Speaker,

Semasa ucapan mukadimah sebentar tadi saya telah menghimbau dasar-dasar The New Deal yang dilaksanakan oleh pentadbiran Franklin Delano Roosevelt untuk mengeluarkan Amerika Syarikat dari kegelapan The Great Depression.

Makanya dampak dari The New Deal tersebut bersama dasar-dasar lainnya telah membuahkan hasil yang lumayan buat Amerika Syarikat. Ianya menjadi kuasa besar dunia. Letusan kebudayaan bercambah membolehkan Amerika turut mempunyai pengaruh soft power. Sudah tentu ramai yang keluar dari kemiskinan. Kelas menengah baharu tercipta. Franklin Delano Roosevelt dikenali sebagai antara Presiden Amerika Syarikat teragung, mungkin nama beliau hanya disebut-sebut orang selepas Abraham Lincoln. Tepat sekali ungkapan habis gelap terbitlah terang. Mengingatkan saya kepada kumpulan surat-surat Raden Adjeng Kartini yang disusun semula oleh Armin Pane.

Feminis agung nusantara itu sentiasa mengingatkan kita bahawa jangan sesekali berputus harap. Harapan membenihkan cita-cita, dan cita-cita menggembeling usaha serta upaya untuk bingkas berjaya.

Oleh kerana itu kita tidak boleh sama sekali menyerah kalah. Kita mesti mempunyai iltizam yang jitu mirip keazaman Arjuna dan saudara-saudaranya. Walaupun diusir ke hutan keluarga Pandawa tidak berputus asa. Pandawa sedar bahawa mereka berada di pihak yang benar dan bertanggungjawab untuk memastikan keadilan terlaksana.

Dalam bab kedua ayat ketiga Bagavad Gita, dirakamkan keresahan Arjuna untuk berperang di Medan Kuru atau lebih dikenali sebagai Kurushestra (Kuruk-shetra).

Krisna sebagai pemandu kereta kuda Arjuna telah menasihati Arjuna untuk meninggalkan sikap keluh kesah dan fokus menghadapi peperangan di hadapan.

Filasuf dan ahli metafizik agung Ramanuja menulis syarahan beliau ke atas ayat ini menyatakan bahawa hanya dengan berbekalkan kecekalan hati dan dipandu dengan moral compass yang sahih, barulah kejayaan akan dicapai.

Tuan Speaker,

Pembentukan dan pelaksanaan dasar yang berjaya haruslah dipandu dengan bukti-bukti empirikal. Kerajaan Negeri mengambil maklum laporan-laporan yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan, PNB, Khazanah, Bank Negara, Bank Dunia, IMF dan lain-lainnya. Namun kita juga mahu mendalami sendiri maklum balas rakyat Negeri Selangor terhadap kesan COVID-19 terhadap kehidupan mereka.

Daripada kajian yang telah disediakan oleh Institut Darul Ehsan merangkumi seramai 1,100 orang responden, 36% penduduk Selangor terjejas pendapatan bulanan mereka selepas PKP. 22% peniaga di Selangor terjejas selepas PKP. 8% terpaksa berhenti berniaga. 14% terpaksa memikirkan kaedah lain dalam berniaga.

22% menjalankan pekerjaan sampingan sebagai peniaga, penjaja, pemandu E-Hailing dan lain-lain. 65% daripada 22% ini melakukan kerja sampingan kerana pendapatan yang tidak mencukupi.

Sementara itu 72% penduduk Selangor merasa terkesan kerana pendapatan yang terjejas. Mereka merupakan penduduk di kawasan perumahan pangsapuri dan teres setingkat. Majoritinya adalah golongan muda yang berumur 20 – 34 tahun. 56% rakyat Selangor merasakan terbeban dengan pembelian pelitup muka dan ‘hand sanitizer’.

Berdasarkan keresahan dan kesusahan rakyat, makanya Kerajaan Negeri sedar bahawa belanjawan kali ini mestilah mampu menjadi penampan untuk menyerap kesan pandemik ke atas rakyat Selangor dan pada masa yang sama terus berada di atas landasan untuk terus bersaing menjadi kuasa ekonomi Asia Tenggara dan berupaya mencipta sumber hasil pendapatan yang baharu berteraskan Revolusi Industri 4.0.

Segala cita-cita untuk memastikan suatu ekonomi bermaruah dan menjamin rakyat yang cekal mestilah berteraskan pelaksanaan dasar yang benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat dan negeri. Kecenderungan faham dan ideologi mestilah diketepikan.

Gene Sperling, penulis buku Economic Dignity dan mantan Pengarah Majlis Ekonomi Kebangsaan semasa pentadbiran Bill Clinton serta Barack Obama menekankan keberkesanan pelaksanaan dasar yang mengutamakan menjamin maruah rakyat. Ekonomi tidak boleh lagi sekadar diukur dengan angka pertumbuhan KDNK atau jumlah pelaburan semata-mata.

Kebijakan atau dasar yang dirangka tidak boleh tergelincir dari falsafah ekonomi mahupun politik yang segar dan bersesuaian dengan tuntutan semasa, yang tegas menjamin maruah setiap rakyat. Oleh itu amatlah penting, ketika kita memperligat dan merancakkan ekonomi dan galak mencipta pekerjaan, pekerjaan yang dicipta pula haruslah mampu melonjak maruah dan jati diri rakyat negeri ini.

Kita harus sedar apa guna segala perbahasan dalam dewan yang mulia ini jika rakyat di luar sana terutamanya generasi muda langsung tidak memberikan perhatian.

Pandemik COVID-19, Perang Dagang antara Amerika Syarikat dan China, krisis di Timur Tengah, krisis Perubahan Iklim, Ketidaksamaan atau jurang kekayaan yang terus melebar dan krisis legitimasi yang sedang dialami banyak kerajaan di seluruh dunia termasuklah di Malaysia menyebabkan generasi muda, dengan izin Tuan Speaker, delusional dengan segala bentuk institusi, kerajaan dan termasuk kita ahli-ahli politik.

Kita bertanggungjawab meyakinkan generasi muda untuk kekal setia kepada moral compass, percaya bahawa kebaikan akan mengalahkan kebatilan walaupun kita agak tertekan ketika ini. Berbekalkan prinsip ini, mereka akan turut terlibat sama dengan pentadbiran, institusi dan merangka dasar yang bermakna untuk negara ini dan tidak meninggalkan kita untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Mereka akan berbondong-bondong menyertai proses pembangunan dan pembinaan negara jika mereka sedar institusi kenegaraan menghormati mereka sebagai rakyat yang berhak dan sudah pasti mereka pun akan membalas pengiktirafan tersebut, bukan sahaja sekadar menghormati institusi-institusi kenegaraan itu bahkan akan mempertahankannya dengan segenap jiwa raga mereka. Jika kita gagal, generasi ini akan mencemuh dan juga memandang remeh kita dan tidak memberi makna pada khidmat serta bakti mereka kepada negara.

Itulah antara kejayaan besar Franklin Roosevelt dan The New Deal. Dasar itu bukan sahaja mencipta nilai baharu dan kekayaan baharu, orang kaya baharu dan pendapatan baharu, ianya berjaya memunculkan rasa hormat, dignity, kekayaan,

keberhasilan dan juga pengukuhan jati diri Amerika sehingga rakyat Amerika begitu bangga dengan negaranya dan tanah airnya.

Itulah juga antara hasrat Kerajaan Negeri, agar dasar-dasar ini mampu menjamin kehidupan bermaruah buat rakyat Selangor, menyuntik keyakinan besar dan menggembeling kecekalan luar biasa menghadapi biar apapun tantangan di masa hadapan.

Tuan Speaker,

Saban hari penjawat awam Negeri Selangor telah memperlihatkan kecekapan, kecekalan dan etika profesionalisme ketika menjalankan tanggungjawab mereka. Kehebatan mereka menjadi contoh kepada para penjawat awam lainnya. Malahan ada Menteri Besar atau Ketua Menteri yang senyap-senyap memaklumkan bahawa mereka mencemburui saya kerana didokong oleh penjawat awam yang professional. InshaAllah dengan dokongan penjawat awam, kita pasti mampu merealisasikan segala agenda yang telah dirangka demi manfaat rakyat Negeri Selangor.

Profesionalisme penjawat awam sekali lagi teruji apabila mereka bertungkus lumus melunaskan segala polisi mahupun peraturan demi memastikan kelancaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Daerah di Negeri Selangor. Seramai 4,593 petugas frontliner SUK, Pejabat Daerah dan Tanah serta PBT terlibat dalam pelaksanaan perintah demi memastikan kekangan terhadap penularan COVID-19 di kalangan rakyat.

Negeri Selangor sentiasa mendepani usaha menangani COVID-19 dengan penubuhan Bilik Gerakan COVID-19 untuk memantau keadaan semasa penularan pandemik serta pada masa yang sama menyelaras bantuan ke kawasan tertentu.

Selain itu, Sidang Khas Bilik Gerakan turut dibentuk bagi tujuan sumbang saran melibatkan Dato’ Bandar, Pegawai Daerah, Yang Dipertua seluruh Selangor. Usaha-usaha ini yang menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang menghasilkan SOP di Pusat-pusat Kuarantin di Malaysia. Malahan pusat-pusat kuarantin pada hari ini menggunakan SOP yang disediakan oleh Unit Bencana Negeri Selangor. Pada masa ini, Kerajaan Negeri masih menguruskan 7 buah Stesen Kuarantin, 20 buah Hotel Kuarantin, 9 buah Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Daerah serta 12 buah Bilik Gerakan PBT.

Untuk menghargai usaha serta komitmen para penjawat awam negeri yang tidak kenal erti penat lelah bersama-sama memakmurkan negeri, hinggakan walaupun ditekan oleh COVID-19 kita masih lagi mampu mencatatkan 90% pendapatan dan hasil

walaupun kita berdepan dengan tempoh PKP dan COVID-19. Dengan ini sukacitanya saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kali kedua untuk tahun ini. Bagi Bantuan Khas Kewangan (BKK) Kali Pertama, insentif berjumlah RM1,000 telah diberi kepada semua penjawat awam Gred 54 ke bawah. Justeru bagi BKK Kali Kedua, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan insentif setengah bulan gaji kepada semua penjawat awam Gred 54 ke bawah dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM16,531,737.93 yang akan dibayar menjelang 29 Disember 2020.

Pohon Metangau di tiang seri, Jadi benteng juga penampan Lebar pintar serata negeri Warga bermaruah paksi kehidupan

Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan, terima kasih.

Tuan Ganabatirau A/L VeramanDAP · PHKota Kemuning

Tuan Speaker, saya menyokong.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, cadangan ini telah pun disokong. Bersesuaian dengan Peraturan Tetap 66(2) sesudah dibacakan Rang Undang-undang Perbekalan Kali Yang Kedua perbahasan hendaklah ditangguhkan tidak kurang daripada satu (1) jam. Oleh itu, perbahasan ini ditangguhkan dan Dewan akan disambung semula pada 2 November 2020, jam 10.00 pagi.

(DEWAN DITANGGUHKAN PADA 5.36 PETANG)