Terengganu · 3 July 2018

14th Assembly, 1st session, 1st meeting · 159 turns · 24,305 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Yang di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan Persidangan pada pagi ini, marilah sama-sama kita membaca ummu Al-Quran, Al-Fatihah. [Al Fatihah dibaca].

Ucapan Yang Berhormat Yang Dipertua

Yang di-Pertua

Alhamdulillahir Rabbil Alamin. Wassalatu wassala mu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, para Pemerhati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan taufik dan hidayahNya kita dapat berada pada sidang pada hari ketiga, Mesyuarat Pertama Bagi Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas.

Kita telah selesai pada hari pertama dengan Majlis Angkat Sumpah seluruh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu diikuti pada hari kedua kelmarin, Pembukaan Penggal Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan. Terlebih dahulu sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh Ahli-ahli Dewan yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai Yang Dipertua Dewan dan seterusnya memimpin Dewan Undangan Negeri Terengganu ini. Saya yakin dengan kerjasama yang baik daripada semua pihak sama ada Ahli-ahli Yang Berhormat Kerajaan dan juga Ahli-ahli Yang

Berhormat Pembangkang kita dapat melaksanakan amanah rakyat dengan berkesan dalam Dewan yang mulia ini.

Suka saya peringatkan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian adalah mewakili Badan Legislatif iaitu badan yang berautoriti menggubal, meminda dan memansuhkan undang-undang setakat yang dibenarkan dalam Sistem Federalisme negara kita. Badan Legislatif merupakan sebahagian daripada cabang sesebuah Kerajaan selain daripada Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman. Walaupun secara idealnya sistem yang diamalkan dalam negara dan negeri kita tidak mempunyai pemisahan kuasa yang jelas di antara ketiga-tiga badan ini, sesebuah Kerajaan yang berkesan dan bertanggungjawab adalah Kerajaan yang menghormati bidang kuasa masing-masing untuk melaksanakan amanah Allah sebagai Khalifah Allah di atas muka bumi ini. Iqomatuddin wasiyasatu duniabihi menegakkan agama dan mentadbir dunia ini dengan agama.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dengan zaman yang semakin maju ini rakyat bukan saja mahu melihat seorang Wakil Rakyat yang baik sentiasa turun ke bawah membantu rakyat dengan tugas-tugas kebajikan tetapi mereka juga ingin melihat seorang ADUN dalam Badan Legislatif yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan banyak membuat kajian-kajian tentang masa depan negeri kita dalam pelbagai isu serta mampu bercakap dan berbahas untuk diterjemahkan dalam Dewan yang mulia ini. Dan Ahli Yang Berhormat juga sebagai anggota Badan Legislatif seharusnya berperanan untuk semak dan imbang check and balance dengan izin perjalanan pihak Eksekutif.

Sebagai Yang Dipertua sudah tentulah saya amat mengalu-alukan pandangan-pandangan dan cadangan-cadangan yang bernas dan kritikan-kritikan yang konstruktif untuk kemajuan Negeri Darul Iman yang sama-sama kita cintai ini. Dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu ataupun Perlembagaan Negeri Terengganu Fasa 3(A) sudah cukup jelas memperuntukkan Al-Quran, As-Sunah, Ijmak dan Qias sebagai sumber asas dan sumber rujukan yang utama Perundangan Syariah negeri kita.

Oleh itu, Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai seorang Islam dan yakin kepada Islam sebagai sesuatu sistem hidup yang lengkap hendaklah menggunakan sumber kekuatan ini bagi memajukan negeri kita dalam pelbagai bidang untuk menjadi negeri maju, berkat dan sejahtera.

Akhirnya saya mengharapkan setiap Ahli-ahli Dewan dapat mematuhi Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan, Standing Rules And Orders Of The Legislative Assembly dengan izin, yang telah dibekalkan kepada setiap Ahli-ahli Yang Berhormat supaya perjalanan sidang atau mesyuarat kita dapat berjalan dengan lancar dan juga licin. Kita mungkin berbeza pendapat tapi jangan sampai ke peringkat mengganggu perjalanan mesyuarat yang mempunyai agenda yang telah ditetapkan dengan masa yang diperuntukkan. Sebagai Yang Dipertua Dewan, insyaAllah saya akan berusaha untuk memberikan keadilan kepada semua pihak dan akan menggunakan kuasa saya

sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan sekiranya berlaku sebarang pertikaian.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mesyuarat pada hari ini kita akan mulakan dengan Soalan-soalan Lisan dalam tempoh lebih kurang satu jam. Dewan telah menerima sebanyak 43 Soalan-soalan Lisan dan 33 Soalan-soalan Bertulis. Mana-mana Soalan-soalan Lisan yang tidak sempat dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat akan dijawab secara bertulis. Soalan-soalan tambahan dibenarkan tetapi saya terpaksa hadkan kepada tiga soalan sahaja memandangkan masa yang sangat terhad. Kemudian selepas rehat kita akan pindah kepada Tertib Pekerjaan, Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Diraja dan perbahasan ke atas usul tersebut. Setelah selesai Tertib Pekerjaan Dewan seterusnya, ialah Usul Pelantikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan. Usul Pelantikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri, Public Account Committee dengan izin, serta Usul Pelantikan Ahli Dewan Negara. Akhir kata selamat bersidang. Semoga Allah memberikan barakah dan rahmat kepada kita sekalian khususnya sepanjang sidang ini berjalan. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalmu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan

Yang di-Pertua

Kertas-kertas Kerja Dan Laporan-laporan yang dibentangkan ialah:

1.

Penyata Kewangan Tahun 2016 Yayasan Islam Terengganu.

(D.U.N. Bil.1/2018)

2.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Mengenai Aktiviti Jabatan/Agensi Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu Siri 2.

(D.U.N. Bil.2/2018) 3.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Terengganu.

(D.U.N. Bil.3/2018) SOALAN-SOALAN YANG TELAH DIBERI NOTIS SOALAN-SOALAN BERTULIS [LAMPIRAN]

Yang di-Pertua

Jawapan-jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis yang telah diberi notis dan yang dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada: 1.

Y.B. Haji Hishamuddin bin Abdul Karim (Wakil Tepoh) 2.

Y.B. Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman (Wakil Seberang Takir) 3.

Y.B. Haji Wan Hapandi bin Wan Nik (Wakil Sura) 4.

Y.B. Tengku Zaihan bin Che Ku Abd. Rahman (Wakil Kuala Besut) 5.

Y.B. Haji Ridzuan bin Hashim

(Wakil Buluh Gading) 6.

Y.B. Haji Hilmi bin Harun (Wakil Manir) 7.

Y.B. Haji Alias Harun (Wakil Rantau Abang) 8.

Y.B. Sulaiman bin Sulong (Wakil Pengkalan Berangan) 9.

Y.B. Ahmad Shah bin Mohamed (Wakil Bandar) 10.

Y.B. Ir. Saiful Azmi bin Suhaili (Wakil Kemasik)

Yang di-Pertua

Sebelum saya meneruskan kepada sesi Soalan-soalan Lisan saya ingin mengalu-alukan kehadiran Pemerhati-pemerhati pada hari yang terdiri daripada:

Majlis Tindakan DUN Sura.

Wakil Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu. Pejabat DUN Ladang.

Pejabat DUN Wakaf Mempelam.

Pejabat DUN Kota Putera.

Pejabat DUN Bandar.

Pejabat DUN Chukai.

Pejabat DUN Ajil.

Pejabat DUN Manir.

Pejabat DUN Jabi.

Pejabat DUN Rhu Rendang.

PETRONAS Wilayah Pantai Timur.

Pejabat DUN Pengkalan Berangan.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah ahli-ahli yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini, 3 Julai 2018: YAN G BER HOR MAT YAN G DIPE RTU A:

Seka rang saya persilakan Yang Berhormat Wakil Tepoh untuk mengemukakan soalan. 1.

Y.B. Haji Y.B. Haji Hishamuddin bin Abdul Karim (Wakil Tepoh) 2.

Y.B. Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman (Wakil Seberang Takir) 3.

Y.B. Muhammad Khalil bin Abdul Hadi (Wakil Batu Buruk) 4.

Y.B. Haji Nawi bin Mohamad (Wakil Hulu Besut) 5.

Y.B. Haji Wan Hapandi bin Wan Nik (Wakil Sura) 6.

Y.B. Haji Roslee bin Daud (Wakil Bukit Besi) 7.

Y.B. Haji Ridzuan bin Hashim (Wakil Buluh Gading) 8.

Y.B. Dato’ Haji Muhammad Pehimi bin Yusof (Wakil Jerteh) 9.

Y.B. Haji Hilmi bin Harun (Wakil Manir) 10.

Y.B. Haji Bazlan bin Abd Rahman (Wakil Batu Rakit) 11.

Y.B. Haji Alias bin Harun (Wakil Rantau Abang) 12.

Y.B. Tengku Mohd Zaihan bin Che Ku Abd. Rahman (Wakil Kuala Besut) 13.

Y.B. Sulaiman bin Sulong (Wakil Pengkalan Berangan) 14.

Y.B. Ahmad Shah bin Mohamed (Wakil Bandar) 15.

Y.B. Ir. Saiful Azmi bin Suhaili (Wakil Kemasik)

Assalamu’alaikum warahmatulahi wabarakatuh. Tuan Yang Dipertua, soalan saya nombor satu - Pohon dinyatakan perincian lengkap projek-projek kerajaan yang terdahulu yang telah menggunakan konsep Public Private Partnership (PPP) dan menggunakan kaedah pembayaran secara bertangguh?

Dr. Haji Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Wakil Tepoh. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatulahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, semua ketua-ketua jabatan dan Pemerhati sekalian. Bagi menjawab Soalan 1 ini yang berbunyi: Pohon dinyatakan perincian lengkap projek-projek kerajaan terdahulu yang telah menggunakan konsep Public Private Partnership (PPP) dan menggunakan kaedah pembayaran secara tertangguh?

Sebenarnya terdapat dua kaedah pembayaran bagi projek Public Private Partnership (PPP) ini iaitu dengan kaedah bayaran tertangguh ataupun deferred payment dan kaedah bayaran berjadual atau schedule payment . Kesemua projek-projek tersebut ada enam. Saya suka nyatakan di sini deferred payment untuk projek-projek yang pertama ialah yang melibatkan Logi Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman yang kos projeknya berjumlah RM686.878 juta dan tempoh bayarannya adalah 6 tahun. Keduanya ialah Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara. Projek air juga yang melibakan kos projek RM1305.891 juta ataupun RM1.3 bilion yang tempoh bayarannya adalah selama 13 tahun. Projek yang ketiga iaitu schedule payment ialah Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus, ini pentadbiran baru yang melibatkan kos projek sebanyak RM600 juta dan tempoh bayarannya adalah 8.5 tahun. Projek yang keempat yang melibatkan muara Sungai Kuala Terengganu kos projeknya adalah sebanyak RM90.240 juta dan tempoh bayarannya ialah 5 tahun. Kelimanya ialah melibatkan asrama atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu kos projeknya ialah RM95.499 juta dan perlu dibayar dalam tempoh 5 tahun. Dan yang terakhir iaitu yang keenam, Pembangunan Bandar Baru Kijal Fasa 2. Ini melibatkan kos RM250 juta yang perlu dibayar dalam tempoh 5 tahun. Terima kasih.

Tuan Yang Dipertua, soalan tambahan saya yang pertama. Daripada jumlah kos keseluruhan yang saya jangka sekitar RM3 bilion kaedah yang digunakan ini. Berapakah jumlah bayaran setiap tahun yang perlu dilunaskan oleh pihak Kerajaan untuk projek-projek yang dinyatakan ini?

Dr. Haji Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih. Memanglah kosnya melibatkan RM3,027.84 juta ataupun RM3 bilion lebih yang perlu kita bayar secara ansuran.

Pertamanya, saya suka sebutkan di sini ialah pada tahun 2016 kita perlu bayar RM70 juta. Tahun 2017 juga RM70 juta. Tahun ini 2018 sebanyak RM101.2 juta. Tahun 2019 RM290.8 juta. Tahun 2020 RM348.1 juta. Tahun 2021 RM382.2 juta. Tahun 2022 RM371.418 juta. Tahun 2023 RM339.6 juta. Tahun 2024 RM248.1 juta. Tahun 2025 sehinggalah tahun 2031 iaitu selama 7 tahun RM761.6 juta dalam masa 7 tahun iaitu lebih kurang RM108.8 juta setahun sehingga 2032, hak ni akhir dah ni RM45.3 juta, kalau kita tak buat hutang lagilah. Itu saja.

Tuan Yang Dipertua, adakah pihak Kerajaan akan meneruskan projek pembangunan dengan konsep seperti yang telah dibentangkan ini bagi projek-projek yang mendatang? Terima kasih.

Dr. Haji Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Kaedah pembayaran secara PPP ini kita umpamakan seperti orang baru kahwinlah ataupun orang baru graduate. Graduate ni lepas tu nak kerja, nak naik kereta. Gajinya kita bagi contoh bubuhlah RM2,000. Lepas tu nak pergi kerja tak dapat kerana tidak ada kenderaan. Nak naik basikal tak jadilah. Jadi, ada pro dan kontra dia. Projek PPP ini ada pro dan kontra dia, baik dia kita boleh beli kereta dulu, secara ansuran kita bagi ke bank, beri kemudahan pinjaman kita bayar ansuran RM500 sebulan ke cukuplah dengan gaji kita RM2,000 tu. Jadi, baiknya kita boleh pergi kerja dengan kereta yang agak selesa dan kita kena ingat di sana bayar tiap-tiap bulan. Ada komitmen yang perlu kita bayar tiap-tiap bulan. Sebaliknya kalau kita baru graduate, lepas tu ada kad kredit banyak, apply kad kredit, ini kemudahan kad kredit lepas tu berjoli ke sana ke sini dengan kad kredit tu girlfriend pulak pegang sekeping jadi belanja berlebihan. Akhirnya tak dapat nak bayar nak jelaskan kemudahan kad kredit tadi dan akhir-akhir sekali jadi muflis. Jadi kerajaan pun begitu juga iaitu kita kena buat kajian setahun-setahun kita boleh bayar berapa banyak, berapa juta. Jangan terlebih hutang yang menyebabkan kerajaan tidak dapat membayar balik segala hutang. Jadi projek ini secara kaedah pembayaran ini, kita harus terima dan kita akan lakukan insyaAllah tetapi kena hati-hati di dalam berhutang.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat, masa Yang Berhormat kahwin dulu macam tu juga ke?

Dr. Haji Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Hak yang kedua dok lagi.

Yang di-Pertua

Seterusnya saya .....

Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin menambah satu soalan daripada jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Kuala Berang tadi. Berasaskan kepada jawapan-jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Kuala Berang tadi. Kita melihat projek-projek yang sedang berjalan itu adalah satu projek yang mega yang agak besar kosnya. Soalan saya ialah: Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak Kerajaan untuk memastikan projek-projek yang sedang berjalan ini ianya tidak berulang sebagaimana kegagalan projek-projek yang telah lalu yang sebahagiannya kita lihat menjadi projek gajah putih yang menyebabkan kerugian kepada Negeri Terengganu dan rakyat Terengganu secara umum. Sekian.

Dr. Haji Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Wakil Batu Buruk. Kalau kita lihat setakat yang kita ada daripada enam projek tadi tidak ada satu pun yang siap lagi. Jadi, kalau kita ambil projek-projek lain sebagai contoh misalnya berkaitan dengan Taman Ilmu, pelancongan di Kenyir dan sebagainya ini projek yang tidak melibatkan PPP itu tadi. Jadi yang terlibat dengan PPP itu hanya enam projek yang masih belum siap dan yang paling penting di sana ialah berkaitan dengan bekalan air terutamanya di Kemaman dan juga di Terengganu Utara. Jadi dua projek ini yang melibatkan lebih RM2 bilion. Satu projek yang besar yang perlu disegerakan tetapi kita tiada kewangan yang mencukupi dan kita tahu masalah air ini masalah yang penting kepada rakyat kita. Jadi saya rasa itu saja jawapan saya. Sekian, terima kasih.

Yang di-Pertua

Okey, terima kasih. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Batu Burok untuk mengemukakan soalan.

Yang Berhormat Yang Dipertua, soalan saya yang pertama - Apakah perancagan atau langkah-langkah Kerajaan untuk mengembalikan institusi pendidikan tinggi khusus untuk rakyat negeri Terengganu seperti kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza).

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatulahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan juga ketua-ketua jabatan serta Pemerhati sekalian. Wakil Batu Burok

bertanya:

Apakah perancagan atau langkah-langkah Kerajaan untuk mengembalikan Institusi Pendidikan Tinggi khusus untuk rakyat Negeri Terengganu seperti Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Untuk makluman Kerajaan Negeri memang memberikan komitmen untuk melaksanakan janji manifesto pada pilihan raya yang lalu. Kita telah meletakkan dalam manifesto PAS Terengganu bahawa Kerajaan Negeri akan mewujudkan semula Institusi Pengajian Tinggi Islam yang akan menjadi milik Kerajaan Negeri untuk menggantikan KUSZA. Dan insyaAllah kita akan berusaha untuk melaksanakan apa yang kita janjikan itu. Kita telah meninjau beberapa tempat yang agak sesuai dan akan memilih tempat-tempat yang sesuai untuk mewujudkan kolej ini insyaAllah.

Yang di-Pertua

Okey, terima kasih. Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Seberang Takir untuk mengemukakan soalan.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatulahi ta’ala wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat dan juga ketua-ketua dan wakil-wakil jabatan serta Pemerhati yang dihormati sekalian. Soalan saya adalah soalan nombor satu - Apakah dasar dan perancangan Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kebitaraan Negeri Terengganu sebagai Negeri yang hebat dalam bidang pendidikan, berikutan banyaknya cerita kejayaan pendidikan Terengganu dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum, baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa?

Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Dipertua, Wakil Seberang Takir bertanya: Apakah dasar dan perancangan Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kebitaraan Negeri Terengganu sebagai Negeri yang hebat dalam bidang pendidikan, berikutan banyaknya cerita kejayaan pendidikan Terengganu dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum, baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa? Untuk makluman Kerajaan Negeri setakat ini sentiasa memberi sokongan dan juga apa-apa yang memberikan kebaikan kepada rakyat insyaAllah Kerajaan Negeri akan terus komitmen memberi sokongan berterusan dan apa-apa yang kita rasa perlu penambahbaikkan dan insyaAllah Kerajaan Negeri Terengganu akan memberi penambahbaikkan. Terima kasih.

Soalan saya yang pertama, sebab dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ada merakamkan setinggi-tinggi kepada tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut yang dinobatkan sebagai Juara Program Pembangunan Sumber Manusia untuk tenaga – agensi tenaga atom antarabangsa di Korea Selatan pada 29 Mei 2018 yang lalu. Jadi saya bagi pihak seluruhlah kepimpimnan yang terdahulu nak merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan juga kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut serta pelajar-pelajar yang terlibat yang telah berjaya menewaskan 520 murid mewakili 188 pasukan daripada 30 negara termasuk juga negara-negara maju. Jadi, soalan saya di sini apakah insentif yang telah diberi oleh Kerajaan Negeri kerana saya dimaklumkan pada 27 dan 28 haribulan ini ketiga-tiga pelajar serta seorang guru telah dijemput ke Rusia bagi menghadiri dan memberi syarahan berkenaan projek mereka di Youth Congress. Di mana kos pelajar dan guru pengiring ditanggung oleh penaja tetapi di dalam media baru-baru ni saya terbacalah nyatakan bahawa PIBG yang diketuai oleh Yang Berhormat Kuala Besut, dan saya ucap tahniahlah kepada Yang Berhormat Kuala Besut yang telah melancarkan tabung untuk membawa kos seorang guru pengiring serta juga kos-kos yang lain. Jadi, soalan saya di sini apakah tindakan dan juga insentif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri? Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Dipertua, terima kasih penjelasan yang diberikan oleh Wakil Seberang Takir macam Kerajaan lagi nampaknya...(sambil gelak).... Untuk makluman Sidang Dewan, insyaAllah hari Khamis akan ada satu majlis dan kita mengundang pelajar-pelajar ini bersama gurunya dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar sudi memberi insentif buat mereka. Dan insyaAllah pada hari sebelum keberangkatan mereka ke Rusia kerajaan juga akan memberikan insentif khas kepada pihak mereka ini, insyaAllah. Terima kasih.

Dan satu lagilah soalan daripada saya, adakah betul pemberian Bantuan Baucer Komputer sebanyak RM500 untuk persedian ke IPT untuk pelajar-pelajar telah ditiadakan? Terima kasih.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat ini dah lari dari soalan asal ni.

Tak apalah Yang Berhormat Yang Dipertua, biar dialah nak tanya apa yang dia nak tanya.

Ini juga berkait dengan insentif kejayaan pendidikan negeri Terengganu.

Terima kasih Wakil Seberang Takir. Yang Berhormat Yang Dipertua, untuk makluman Yayasan Terengganu telah meneruskan seperti biasa insentif kepada mereka-mereka yang mendapat peluang untuk menyambung pengajian peringkat yang lebih tinggi dan kita insyaAllah lepas daripada ini kita akan maklum balik keputusan yang melibatkan pemberian komputer ini. Kita tak pernah sebut kita batalkan. Cuma kita buat berperingkat, kita selesaikan dulu yang melibatkan pelajar-pelajar yang nak masuk ke universiti ini dulu, insyaAllah. Perkara itu dalam makluman dan kita akan ambil perjalanan oleh pihak Yayasan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat ADUN Sura kemukakan soalan.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, soalan saya nombor satu - Apakah perancangan pihak Kerjaan Negeri dalam memajukan kawasan pelancongan pesisir Sungai Dungun?

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan dan semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli EXCO dan Pegawai-pegawai Kerajaan serta Pemerhati. Soalan satu yang ditanya oleh ADUN Paka: Apakah perancangan pihak Kerajaan Negeri …..

Mintak maaf pembetulan sikit Yang Dipertua.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Eh, mintak maaf Wakil Sura, Wakil Paka jadi EXCO dah. Apakah perancangan pihak Kerajaan Negeri dalam memajukan kawasan pelancongan pesisir Sungai Dungun. Kerajaan Negeri bercadang untuk membina “Dungun Riverfront Esplanade” dengan kos RM10 juta serta pembinaan jeti pelancongan ke Pulau Tenggol di mana lokasinya terletak berhampiran dengan Jeti LKIM sedia ada dengan anggran kos berjumlah RM2 juta termasuk beberapa kemudahan sokongan.

Soalan tambahan yang pertama. Berapakah luas kawasan yang dianggarkan untuk dibuat atau untuk dibangunkan Kawasan Pelancongan Pesisiran Sungai Dungun

ataupun berapa panjang kilometernya pesisiran Sungai Dungun tu akan digunakan untuk projek pelancongan ini?

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Terima kasih kepada ADUN Sura. Soalan tambahan: Panjangnya pantai untuk pembangunan kawasan tarikan pelancongan sebenarnya terletak di Pantai Teluk Lipat melibatkan.....

Saudara, bukan pantai ya, pesisir sungai.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Lokasi pesisir Sungai Dungun yang dikenalpasti yang akan dijadikan kawasan tarikan pelancongan ialah bermula daripada Jeti LKIM Kuala Dungun sehingga ke jambatan lama Sungai Dungun manakala panjang dia ke pantai pula untuk pembangunan kawasan tarikan pelancongan melibatkan kawasan sepanjang 5.76 kilometer bermula dari Kampung Tanah Lot sehingga ke Sura Hujung. Terima kasih.

Soalan tambahan yang kedua: Apakah bentuk ataupun projek yang akan dilaksanakan di kawasan yang telah disebutkan tadi. Maksudnya aktiviti-aktiviti yang berbentuk pusat-pusat perniagaan ataupun aktiviti-aktiviti lain yang kita nak bangunkan di kawasan yang dinyatakan tadi? Terima kasih.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Perancangan yang akan dibangunkan di sebagaimana yang saya sebutkan tadi ialah bagi Rancangan Pembangunan Pelancongan di Sungai Dungun ini ialah yang pertama sekali ialah promenade ialah menaik taraf parking, arca dataran, pondok rehat dan laluan pejalan kaki. Dan yang kedua, membangun jeti memancing, parking, restoran, pintu masuk fishing deck, kawasan sukan dan riadah serta mini park. Pembangunan Sungai Dungun bermula sebagaimana saya sebut tadi tu daripada Jeti LKIM ke Sungai Nibong iaitu dari jambatan lama. Yang ketiga, Esplanade menaik taraf sebagaimana promenade juga. Kemudian yang keempat, Rumah Api Teluk Bidara. Untuk Pantai Teluk Bidara menaik taraf kawasan reakreasi, perabot taman, kawasan penginapan, kios dan arca. Sekian.

Yang di-Pertua

Sekarang saya jemput Wakil Hulu Besut.

Haji Nawi bin MohamadUMNO · BNHulu Besut

Assalamu’alaikum warahmatulahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Dipertua, soalan saya soalan nombor dua - Bilakah Kerajaan Negeri Terengganu akan melantik JSR atau

J3K di seluruh Negeri Terengganu?

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatulahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan semua Wakil Rakyat dan semua pegawai yang hadir. Soalan nombor dua ni berkaitan dengan bilakah Kerajaan Negeri Terengganu akan melantik JKKK atau J3K di seluruh Negeri Terengganu. Soalan tu bilakah Kerajaan nak lantik? Senarai cadangan JKKK atau J3K kita pakai nama tu jugak kekgilah J3K akan dihantar ataupun telah dihantar kepada Kerajaan pada 20 Jun tahun ni dan proses pelantikan sedang dibuat sekarang ini.

Haji Nawi bin MohamadUMNO · BNHulu Besut

Soalan tambahan Yang Berhormat Yang Dipertua, Wakil Ladang tadi bagitahu menggunakan JKKK boleh tak saya katakan JKKK ini dengan JSR ini lebih baik JKKK. Pasal Kerajaan yang ada hari ini nak lantik JKKK. Jadi, maknanya JKKK ini lebih Islam daripada JSR atau macam mana?

Guana, lebih Islam? Apa faktor yang menyatakan bahawa dari segi Islam tu lebih baik tu macam mana pula?

Haji Nawi bin MohamadUMNO · BNHulu Besut

Saya tanya tadi pasal JKKK ni dulu UMNO yang buat. JSR, PAS yang buat.

UMNO ke kerajaan Yang Berhormat?

Haji Nawi bin MohamadUMNO · BNHulu Besut

Kerajaan UMNOlah. Kalau saya dengar ceramah di kampung-kampung ni saya dengar UMNO ni tak berapa Islam tapi nak pakai JKKK pulak ni lagu mana? YANG BEHORMAT HAJI HILMI BIN HARUN (Wakil Manir): Bila UMNO Islamnya?

(Sambil gelak) .... Tak, apa benda isunya di situ tu? Ada isu ke tentang JKKK, JSR. Sepatutnya sokong kitalah dah kita nak pakai JKKK, bukan sebagai JKKK tapi sebagai J3K pulak. Itu beza sikit tu. Hak tu ler jer.

Benda sama saja JKKK dengan J3K.

Kalau sama takpelah, kita pakai haktulah.

Haji Nawi bin MohamadUMNO · BNHulu Besut

Saya tanya tu Yang Dipertua.....

Biar kemas sikit gok sikit soalan tu.

Tapi baik pakai JSR, comel sikit nampak.

Haa, terima kasih.

Pelik, orang UMNO kata dok comel JKKK ni. Jadi terbalik ni.

Haji Nawi bin MohamadUMNO · BNHulu Besut

Dok, saya nak tahu. Dulu dalam Dewan ni ke, dalam mana-mana ke ceramah PAS ni di kata JKKK ni ‘Jom Kuca Kampung’. JSR moleknya dia kata. Lepas tu hari ini kata nak guna JKKK pulok. Dah, hak mana hak moleknya?

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Yang Dipertua, mungkin dia macam buat tak nampak, dia mungkin berkaitan dengan apa nama ni akaun dan sebagainya. Perlu, perlu dinilai daripada tahap ikut.....

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Biar Exco jawablah.

Haa.... tak jadi Exco lagi biar dulu.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat, saya ingat isu yang ditimbulkan sudah tidak berbangkit, apabila dijawab oleh Wakil Ladang tadi ialah Kerajaan menggunapakai J3K, jadi soal JSR tidak berbangkitlah. Dah selesai dah.

Yang Berhormat Yang Dipertua, begini .....

Haji Nawi bin MohamadUMNO · BNHulu Besut

Maknanya Kerajaan yang ada hari ini .....

Sekejap, sekejap, dulu Saidina Umar Nur Khattab, sebelum masuk Islam nama dia Umar

Nur Khattab, pahtu dia masuk Islam, nama dia Umar Nur Khattab jugak, yang penting dia mengucap dia masuk Islam. Itu jer.

Haji Nawi bin MohamadUMNO · BNHulu Besut

Doklah maknanya Kerajaan yang ada hari ini mengatakan JKKK lebih baik dari JSR lah maknanya.

Dia, nanti dulu, soalan yang ke berapa dok tahu ni doh, tambahan ni.

Yang di-Pertua

Ini dah lebih daripada apa yang dibenarkan.

Jadi ini menunjukkan bahawa yang dibuat oleh Kerajaan dulu memang molek dan ditiru oleh Kerajaan sekaranglah.

Tak apalah molek-hudoh tapi yang ke berapa dah dok tahu ni? Boleh jawab lagi?

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Ladang, jawab yang terakhirlah, saya dah bagi lebih dari 3 soalan tambahan dah.

Soalan tadi dia kata bila Kerajaan nak tubuh? Kita pun jawab bila, tubuh dah ni, itu soalan asalnya. Lepas tu tanya pulok JKKK ke JSR ke, kita kata JKKK. Dah benda isu di situnya? Molek-hudoh kita orang pilih, terima ajelah seadanya. Okey, terima kasih.

Yang di-Pertua

Okey, terima kasih. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Wakil Buluh Gading.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, soalan saya soalan nombor satu - Apakah usaha dan perancangan Kerajaan dalam memperkasakan perlaksanaan syariah di Negeri Terengganu?

Yang Berhormat Yang Dipertua, Wakil Buluh Gading bertanya: Apakah usaha dan perancangan Kerajaan dalam memperkasakan peranan pelaksanaan syariah di Negeri Terengganu?

Sebagaimana kita sedia maklum, Kerajaan Negeri telah mewartakan Rang Enakmen Hudud, Qisas dan Takzir pada tahun 2002. Dan insyaAllah pihak Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi komitmen ke arah untuk memperkasakan perlaksanaan apa yang telah diwartakan itu. Untuk melaksanakan secara keseluruhan, dan sebahagian besarnya melibatkan Hudud dan Qisas itu memerlukan kepada kelulusan Pindaan 355, RUU 355 di peringkat Parlimen. Tetapi bidang kuasa yang ada insyaAllah kita akan memanfaatkan bagi penggunaan Takzir yang telah diluluskan pada tahun 2001. Dan insyaAllah pihak Kerajaan Negeri yang pertamanya insyaAllah kita akan memohon khususnya pada tahun depan bajet khusus yang melibatkan ke arah pelaksanaan syariah ini yang tidak diberikan khusus, pencaknaan yang khusus kepada pelaksanaan syariah ini sebelum daripada ini. Dan insyaAllah kita juga akan membuat semakan dan membuat penambahbaikan kerana masih ada lagi ruang-ruang ataupun berdasarkan semasa waktu sekarang ini untuk menggunapakai konsep 356 itu iaitu 3 tahun jel, RM5,000 dan juga 6 kali sebatan yang masih lagi enakmen yang ada di peringkat minimum. InsyaAllah kita akan boleh mempertingkatkan lagi berdasarkan keperluan semasa. Pihak kerajaan negeri juga telah membuat pengasingan bahagian pendakwaan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan telah dinaikkan taraf menjadi sebuah jabatan.

InsyaAllah komponen-komponen seperti ini akan memperkasakan lagi pelaksanaan syariah di Negeri Terengganu Darul Iman ini, insyaAllah. Pihak Kerajaan Negeri juga akan meneliti dan membuat gubahan enakmen dan juga kaedah-kaedah bagi Negeri Terengganu yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sebagaimana yang diizinkan oleh perlembagaaan di bawah Jadual Ke-9, antaranya seperti melibatkan Hibah, Wasoya, Wasiat dan lain-lain. InsyaAllah ini semua akan memperlengkapkan keperluan ke arah kesempurnaan pelaksanaan syariah yang lebih baik daripada masa ke semasa.

Kita juga dalam usaha untuk memperkasakan Jabatan Penguatkuasaan Syariah kerana hari ini kita melihat kepada kakitangan yang ada rakyat Terengganu 1.1 juta tapi Penguatkuasa Syariah hanya sekadar lebih kurang 100 orang seluruh Negeri Terengganu. Jadi kita melihat perkara ini perlu kepada penambahbaikan dan insyaAllah kita akan mempertingkatkan sehingga kepada peringkat kampung dan sebagainya yang memerlukan sukarelawan termasuk di peringkat kampung, di peringkat DUN dan sebagainya untuk memberi kerjasama sebab masyarakat kita kadang-kadang sedia maklum mereka berlumba-lumba untuk membuat masjid kerana mereka menganggap ini merupakan ibadah tetapi dalam hal seperti ini kita perlu mendidik rakyat supaya rakyat semua juga turut sama melibatkan diri bukan hanya ke arah amal makruf, tetapi juga melibatkan nahi mungkar, ianya juga merupakan ibadat yang meletakkan umat Islam itu sebagai ‘kuntum khairul ummah’ sebagai umat yang terbaik, insyaAllah.

Kita juga dalam usaha mewujudkan pusat seperti rehibilisasi, melibatkan akidah dan juga akhlak kerana sebahagian umat Islam tidak sesuai untuk melibatkan penjara, melibatkan Peraturan Kesalahan Jenayah Syariah ini jadi mungkin kita meneliti, insyaAllah kita akan teliti dan juga membuat pertimbangan untuk mewujudkan pusat-pusat seperti ini ke arah membimbing mereka kepada pemulihan, kepada melibatkan akidah mahupun melibatkan jenayah-jenayah syariah. Dalam masa yang sama kita juga meneliti insyaAllah untuk membuat penambahbaikan melibatkan fizikal sama ada Mahkamah Syariah mahupun Jabatan Penguatkuasaan dan juga Jabatan Pendakwaan dari segi fizikal, pembangunan, infra, kakitangan dan sebagainya ke arah yang lebih baik, insyaAllah. Terima kasih.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, tadi Yang Berhormat Exco ada menyebut berkaitan dengan Enakmen Kesalahan Takzir 2001, yang merupakan antara Enakmen yang dilaksanakan sekarang ini. Cuma saya nak mengambil kesempatan di sini untuk mendapat penjelasan lanjut apakah terdapat dalam Enakmen Kesalahan Takzir 2001 sekarang ini, peraturan yang berkait dengan etika berpakaian seorang muslim baik lelaki atau perempuan ketika, khususnya di ketika di khalayak, etika pakaian yang menurut syariat dari sudut batas-batas aurat dan sebagainya. Adakah ada peruntukan, penguatkuasaan dalam perkara tersebut? Begitu juga dalam isu berkait dengan pengusaha kedai gunting rambut. Apakah terdapat peraturan yang menetapkan kedai gunting rambut yang diusahakan oleh kaum lelaki menghadkan pelanggan lelaki sahaja atau sebaliknya yang perempuan hanya menerima pelanggan daripada perempuan sahaja. Jadi adakah perkara ini disebut dan dimasukkan dalam Kesalahan Takzir 2001 dan jika tidak ada, adakah Kerajaan mempunyai usaha dan perancangan ke arah tersebut? Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Dipertua, Kerajaan Negeri Terengganu yang ada sebagaimana yang sering disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kita meletakkan ke arah asas rahmah, mawaddah dan bukan hasrat dan juga matlamat Kerajaan Negeri untuk menghukum tetapi lebih kepada ta’dip untuk memberi pendidikan adab, mendidik masyarakat.

Kita melihat mutakhir ini 20 tahun selepas kita merdeka sehingga ke hari ini, kita melihat masyarakat kita lebih mula mempraktikkan amalan-amalan praktikal Islam ini termasuk juga berpakaian dan sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat khususnya wanita-wanita dan juga lelaki-lelaki Islam kita yang nampak lebih banyak, lebih biasa mengamalkannya. Dulu kalau kita tengok orang pakai purdah ni, orang kata hantu kum-kum, sekarang ni dah normal dah. Jadi itulah proses yang kita rasa kita akan memberi keutamaan kepada

pendidikan. InsyaAllah selepas pada ni kita akan merancakkan kempen-kempen menutup aurat dan sebagainya supaya dianya timbul daripada kesedaran masyarakat itu sendiri dan saling memperingatkan antara satu sama lain. Walau macamanapun, sebagaimana yang ditanya oleh Yang Berhormat Buluh Gading, dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Terengganu 2001, ada Seksyen 34, melibatkan Enakmen Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam dan masalah pendedahan aurat ini masuk di bawah Seksyen ini yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 bulan ataupun kedua dua sekali. Tetapi sebagaimana kita sebut tadilah, kita insyaAllah selepas pada ni, akan merancakkan usaha-usaha untuk memberi kesedaran kempen semua peringkat daripada sekolah, jabatan-jabatan, masyarakat, orang awam dan sebagainya supaya timbul kesedaran daripada mereka sendiri dan juga kesedaran daripada masyarakat dan institusi-institusi dalam masyarakat, masjid dan sebagainya untuk turut sama menggalakkan ke arah ibadah ini. Berkait dengan gunting rambut, jadi memanglah jika sekiranya kita dapat pengasingan itu digalakkan, dan ini ke arah yang lebih baik. Dan kita tengok hari ini pun dari kalangan ramai lelaki-lelaki dah banyak kedai-kedai gunting rambut yang kadang-kadang eksklusif dan sebagainya yang menempatkan untuk orang lelaki sahaja. Tetapi kita sedia maklum jenayah undang-undang syariah ini hanya melibatkan orang muslim sahaja. Jadi kedai-kedai non-muslim yang melibatkan gunting rambut itu kita tidak boleh memaksakan dalam melibatkan Enakmen Syariah ini. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Sekarang saya jemput Yang Berhormat Wakil Bukit Besi mengemukakan soalan.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, soalan saya nombor satu - Sejauh manakah langkah yang telah diambil olh pihak Kerajaan untuk merealisasikan hasrat mewujudkan Tabung Pinjaman Usahawan sebanyak RM10 juta setahun sebagaimana dalam Perkara 9 manifesto PAS baru-baru ini?

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Tuan Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan seterusnya Pemerhati Dewan yang mulia ini.

Bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat daripada Bukit Besi, soalannya berbunyi: Sejauh manakah langkah yang telah diambil oleh pihak Kerajaan untuk merealisasikan hasrat mewujudkan Tabung Pinjaman Usahawan sebanyak RM10 juta setahun sebagaimana dalam Perkara 9, Manifesto PAS baru-baru ini?

Tuan Yang Dipertua, untuk bagi jawapan ini, adalah memanglah Kerajaan Negeri mewujudkan Tabung Pinjaman Usahawan yang berjumlah RM10 juta ini dan pihak Portfolio Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna telahpun mengadakan satu mesyuarat dan memutuskan untuk mengambil tanggungjawab untuk memastikan tabung ini dilaksanakan. Cuma sekarang ini agak terlalu awal untuk dinyatakan perkara-perkara pelaksanaan kerana melibatkan satu bajet kewangan. Dan insyaAllah di bawah portfolio ini kita akan pastikan tabung ini direliasasikan sepertimana dijanjikan dalam manifesto. Sekian, terima kasih.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Terima kasih, soalan tambahan. Sebelum tu memang tabung ini akan adalah, insyaAllah.

Ya, insyaAllah.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

InsyaAllah.

Alhamdulillah, jadi soalan tambahan saya, apabila peruntukan ini ada, adakah dana ini akan difokuskan kepada peniaga kecil ataupun usahawan IKS? Terima kasih.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, terima kasih kepada soalan tambahan. Berkenaan dengan ke manakah fokus yang akan disalurkan, saya telah melihat mekanisme yang ada di dalam YPU sendiri, satu mekanisme yang agak baik di mana banyak penyaluran-penyaluran yang boleh kita kemukakan. Untuk pengetahuan Dewan sehingga sekarang ini, saya dimaklumkan peruntukan untuk keusahawanan ini yang paling tinggi diterima oleh YPU hanya RM3 juta sahaja. Sebab itu keusahawanan kita nampak macam tak berapa nak hidup. Dan insyallah dengan inisiatif ataupun janji manifesto yang dibuat oleh Kerajaan ini dengan jumlah yang hampir ataupun lebih tiga kali lebih besar daripada sebelum-sebelum ini, kita dapat perkasakan dan kita boleh menyalurkan kepada banyak-banyak sektor.

Dan sebagaimana yang telah saya perincikan, sekarang ini kita akan mengklasifikasikan beberapa segmen keusahawanan itu sendiri. Dan saya melihat sebelum daripada ini bantuan kepada yang memulakan usahawan itu

tidak ada, kebanyakannya prosedur-prosedur diberi kepada usahawan-usahawan yang perlu buat dulu, sedangkan ramai usahawan-usahawan kita yang datang jemba Kerajaan ini nak minta pemula. Jadi insyaAllah dalam pelaksanaannya nanti saya akan memudahkan, memudahcarakan dan memastikan usahawan-usahawan yang nak mulakan ni kita beri keutamaan dan kita permudahkan urusan dia. Dan banyak lagilah dua tiga segmen lagi yang telah kita kenalpasti dan insyaAllah kita akan kemukakan dari masa ke semasa. Sekian, terima kasih.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Okey, pada saya soalan yang saya kemukakan tu tak berapa, nampak mendatar gitu. Tapi walau bagaimanapun Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, saya merasakan bahawa usahawan ini perlu diberi penekanan yang baik dalam menjana ekonomi rakyat, tetapi saya nak tanya satu soalan lagilah kepada Wakil Jabi dok? Kota Putera. Sektor yang akan diberi keutamaan, sektor manakah yang akan diberi fokus dan keutamaan kepada usahawan-usahawan ini? Terima kasih.

Saya dah menjawab sebenarnya soalan tu tadi bahawa kita tengah, sedang melihat segmen-segmen, segmen tu sebenarnya sektorlah yang perlu diberi keutamaan. Cuma saya setuju dengan pandangan awal Yang Berhormat Bukit Besi, usahawan ini perlu diberi keutamaan dan cuma saya nak bangkitkan pada masa yang lalu walaupun benda ini menjadikan keutamaan tetapi pelaksanaan itu saya tidak melihat, menjadi keutamaan contohnya tempat-tempat usahawan ini bergiat saya boleh beri contoh, satu ataupun dua contoh macam KUT, Kompleks Usahawan Terengganu, ataupun dan Kota Putera Square, di Kota Putera. Ini tempat usahawan bergiat, tetapi lima, enam tahun kalau KUT tu, lima, enam tahun dah siap, tidak ada satu usaha untuk menggemblingkan usahawan bergiat di situ, hanya sekadar siap bangunan, lima enam tahun tidak digunakan. Jadi sekarang ini kita nak, biarlah kita ambil bekas orang pun takpe tapi kita nak isikan, roh keusahawanan di dalam bangunan-bangunan tersebut. Bangunan-bangunan tersebut alhamdulillah telah disediakan oleh kerajaan yang lalu dan saya tengok KUT pun sampai sekarang tidak ada usaha ke arah membangunkan usahawan di situ. Dan Kota Putera Square, dua tahun masih lagi kosong dan tidak ada lagi apa ni, tenant-tenant yang boleh bergiat di situ, kalau ada pun jadi hidup segan mati tak mahu, tidak ada satu program Kerajaan yang membangunkan dan engcourage dengan izin, usahawan itu datang memanggil orang untuk membantu keusahawanan itu sendiri. Jadi sektor-sektor ini ataupun segmen-segmen ini yang saya nak lihat dulu, nak pakai benda yang ada dan isikan dan pastikan usahawan boleh masuk dulu di tempat itu dan kita akan wujudkan program-program untuk membantu usahawan ini sendiri. Sekian, terima kasih.

Tuan Yang Dipertua, ada se. Cara jawab tadi bukan macam Kerajaan lagi

tu. Okey, soalan saya Tuan Yang Dipertua, sebelum kita merangka suatu manifesto ataupun janji ataupun perancangan kita, kita mesti mempunyai satu anggaran ataupun perancangan jadi dalam Manifesto PAS yang lepas, iaitu untuk mewujudkan Tabung Pinjaman Usahawan sebanyak RM10 juta, jadi boleh tak bagi pencerahan kepada kita, kepada Ahli Dewan dan juga perwakilan, Pemerhati sekelian bahawa RM10 juta setahun ni, boleh melibatkan berapa ramai usahawan khususnya kita di Negeri Terengganu, boleh bantu berapa ramai usahawan kita di Terengganu, perancangan yang negeri kita dibuat sebelum kita melancarkan manifesto. Terima kasih, Tuan Yang Dipertua.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Besut. Tuan Yang Dipertua, anggaran untuk RM10 juta tu kita mengambilkira apa yang telah ada di dalam pelaksanaan sebelum ini. Dan kita boleh pertingkatkan dengan memberi pinjaman-pinjaman ataupun mungkin boleh diberi dalam bentuk geran akan dibincangkan di peringkat nanti. Contohnya, sekarang ni YPU telah memberikan pinjaman sebanyak 71 peminjam sehingga pertengahan tahun ini berjumlah RM643,000.00 jadi kalau kita nak tingkatkan dalam segmen ini, kita boleh tambahkan peminjam itu kepada jumlah yang signifikan dengan jumlah yang akan diperuntukkan nanti. InsyaAllah, bukanlah RM10 juta itu pergi kepada satu pinjaman sahaja. Dan apa ni, dari segi apa ni, kita akan wujudkan juga keusahwan-keusahawanan setakat ni berkenaan dengan perniagaan melalui media, media baru ni, pun mempunyai satu peruntukan yang kita akan kemukakan di peringkat jawatankuasa untuk, untuk memastikan benda tu terlaksanalah.

Dan, begitu juga dalam sektor latihan, sektor latihan untuk pembangunan usahawan ini, kita perlukan satu bentuk mentor dan menti dan di situ kita akan segmenkan satu peruntukan khusus kepada golongan ini, insyaAllah. Dan saya tak berhasrat untuk perincikan sepenuhnya. Itu beberapa contoh yang kita, langkah yang kita ambillah untuk memastikan RM10 juta ini berjaya disalurkan dalam Tabung Usahawan itu nanti. Sekian.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Sekarang saya jemput ADUN Manir untuk kemukakan soalan.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Soalan saya yang pertama - Berapakah bilangan pelajar Negeri Terengganu yang ditaja oleh Kerajaan dari Januari 2014 hingga Disember 2017?

Yang Berhormat Yang Dipertua, ADUN Manir ingin tahu berapakah bilangan pelajar

Negeri Terengganu yang ditaja oleh Kerajaan dari Januari 2014 hingga Disember 2017?

Dalam tempoh 4 tahun, Kerajaan Negeri Terengganu menaja seramai 3,137 orang. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Sekarang saya jemput Wakil Jertih untuk kemukakan soalan.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, soalan saya soalan pertama - Adakah Kerajaan Negeri masih bercadang untuk meneruskan pembinaan stesen bas di Bandar Jertih, Besut?

Dr. Haji Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, terima kasih. Soalan dari Wakil Jertih tadi iaitu soalannya berbunyi: Adakah Kerajaan Negeri masih bercadang untuk meneruskan pembinaan Stesen Bas di Bandar Jertih, Besut.

Ringkasnya jawab: Ya, kerajaan Terengganu yang baru ni akan meneruskan. Terima kasih.

Soalan tambahan Yang Berhormat Yang Dipertua. Saya bagi pihak warga Jertih ingin mengucapkan terima kasihlah kerana ini sebenarnya merupakan janji kita, janji saya, bila saya kata kalu menang saya, menang Barisan Nasional, kita akan bina Stesen Bas Jertih kerana selama ini stesen bas Jertih menggunakan kanopi 20 x 20. Jadi saya berterima kasih kerana juga ditanya oleh pengundi, kalau Barisan Nasional kalah, adakah ianya juga akan dibuat. Tetapi hari ini jelas dijawab oleh pihak Kerajaan yang mana Kerajaan akan meneruskan perancangan untuk membina stesen bas di Jertih. Cuma saya nak ajukan soalan tambahan: Bilakah agaknya projek ini akan bermula? Terima kasih, Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua.

Dr. Haji Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih. Kita mengamalkan politik matang dan sejahtera, dan kasih sayang antara satu sama lain ....(Tepukan sokongan).... Sekiranya ada keperluan dan mendesak, kita akan buat, insyaAllah. Saya pergi lihat baru-baru ni, di Bandar Jertih inilah, kalu banding dengan Stesen Bas Kuala Berang saya rasa, molek hok Kuala Berang. Selama ini, Wakil Jertih ni pun dah lama memerintah ...(sambil tersenyum)...

Jadi kita lihat di sana memang ada keperluan untuk rakyat. Stesen bas yang tidak ada bumbung, hanya padang begitu saja dan insyAllah kita akan bawa perkara ini ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri supaya dibuat dengan segeralah. Kesian jugok, rakyat kita berhujan, berpanas di stesen bas tersebut. Jadi mungkin keperluan ini sekitar RM16 juta tetapi mungkin kita tak beri RM16 jutalah, pasal kita tengok dari segi kajian dia, dan jugak dari segi pembinaan dia di sini agak canggih, kalau RM16 juta mungkin kita boleh kurangkan sikit, kita akan kaji baliklah dari segi pembinaan stesen bas secara bersepadu, bukan stesen bas sahaja bahkan stesen teksi juga dan lengkap dengan kaunter tiket ke, tandas dan keperluan-keperluan yang lain. InsyaAllah. Terima kasih.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, soalan tambahan yang ke berapa dah? Okey betullah kita dah lama, tetapi sebenarnya kita membangunkan Bandar Jertih peringkat berperingkat yang mana untuk kita nak membina stesen bas, kita terpaksa menyiapkan projek yang sekarang ini yang sedang dalam pembinaan, iaitu dari segi parking bawah tanah dan juga tapak perniagaan baru.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Macam Kerajaan pulok jawab tu.

Ni untuk penerangan kerana takut salah tafsiran apabila disebut lama memerintah tak buat, PAS memerintah baru nak buat.

Yang di-Pertua

Saya ingat Yang Berhormat, terus kepada soalan.

Okey, sebab ada pencelahan tadi.

Yang di-Pertua

Maksud Soalan Lisan ni untuk dapat penjelasan.

Soalan tambahan saya: Adakah yang disebut oleh Yang Berhormat Kuala Berang tadi secara bersepadu dengan mengambil kira selain daripada stesen bas itu, iaitu laluan masuk ke Jertih, kerana kita tengok laluan masuk ke Jertih menggunakan jalan yang sangat kecil. Ada perancangan yang telah dibuat supaya pihak Kerajaan mengambil balik tanah untuk tujuan pembesaran jalan ataupun laluan untuk masuk dan keluar ke Pusat Bandar Jertih? Terima kasih Yang Berhormat Yang Dipertua.

Dr. Haji Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Saya rasa hok tu hok lain pulok tu. Cadangan ni saya pergi jumpa Majlis Daerah di Besut, memang adalah paper berkaitan dengan cadangan tersebut iaitu sebuah Cadangan Merekabentuk Dan Membina Semula Terminal Bersepadu Bas Dan Teksi di atas sebahagian daripada Lot 112 di Bandar Jertih, yang melibatkan kawasan sekitar 3 ekar sahaja. Jadi berkaitan jalan laluan masuk ni, hok ni projek lain pulok. Hok ni tak termasuklah di dalam membina semula Terminal Bersepadu itu. Terima kasih.

(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions

Yang di-Pertua

Terima kasih, masa untuk Soalan Lisan telah tamat. InsyaAllah, bagi memberikan keadilan, mana-mana Ahli Yang Berhormat yang tak sempat dijawab soalan pada hari ini akan diberikan keutamaan untuk mengemukakan Soalan Lisan pada hari esok. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 11.15 pagi. DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.00 PAGI. PUKUL 11.10 PAGI

(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions

Yang di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula.

Usul Yang Telah Diberi NotisMotion

Yang Berhormat Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan:-“Bahawa Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada hari ini membuat KETETAPAN bersetuju merakam dan merafak sembah ucapan penghargaan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kerana menyampaikan Titah Diraja mengenai dasar-dasar Kerajaan bersempena Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Keempat Belas dan bersetuju merafak sembah ikrar taat setia Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan bersedia memberi kerjasama yang erat kepada pentadbiran negeri supaya dasar-dasar Kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna demi kepentingan negeri dan rakyat seluruhnya.”

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, saya mohon menyokong usul tersebut.

Yang di-Pertua

Usul ini telah mendapat sokongan, sekarang saya buka untuk perbahasan. Saya persilakan Yang Berhormat Tepoh.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahir rabbil alamin.

Assalatu wassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Amma ba’d.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, para Pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah kita merakamkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memberikan keizinan kepada kita bagi menghadiri Sidang Dewan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas. Alhamdulillah dikesempatan yang diberikan kepada saya pada hari ini, izinkan saya untuk merakam dan menyembahkan Ucapan Penghargaan Dan Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah bertitah menyentuh dasar-dasar Kerajaan bersempena dengan Pembukaan Penggal Persidangan Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas. Tuan Yang Dipertua, sebagaimana yang telah kita maklumi, kita telah menjalani Pilihan Raya Umum Keempat Belas tempoh hari yang telah menyaksikan perubahan yang besar di dalam peringkat negara kita sendiri daripada

pemerintah yang sebelum ini di bawah Barisan Nasional beralih kepada Kerajaan yang baru di bawah Pakatan Harapan. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk menyentuh berkenaan dengan peralihan Kerajaan Negeri di bawah Negeri Terengganu daripada Kerajaan Barisan Nasional dalam PRU Ke-14 akhirnya kita telah bertukar pemerintah kepada Kerajaan PAS yang mengambil alih. Beberapa kesempatan yang telah diambil oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar membawa suatu gagasan yang cukup besar untuk dihayati oleh seluruh rakyat Negeri Terengganu. Peralihan ini bukan peralihan untuk membalas dendam. Peralihan ini adalah peralihan untuk kita memakmurkan negeri, memajukan negeri dan dalam masa yang sama berusaha gigih untuk memastikan kesejahteraan rakyat bakal diperolehi melalui usaha secara bersama di antara semua ahli-ahli parti yang telah bergelanggang dalam PRU Yang Ke-14. Tuan Yang Dipertua, saya tidak bercadang untuk menyentuh isu pilihan raya dengan secara panjang lebar dalam kesempatan perbahasan ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah menyentuh banyak perkara mengenai Kerajaan Negeri Terengganu. Tuan Yang Dipertua, izinkan saya memberikan fokus dalam beberapa perkara. Terdahulunya saya memulakan ucapan perbahasan ini dengan memetik Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Al-Quran Nul Karim: “A’uzubillahi minasyaitannir rajim. Innallaha la yughayyiru ma bi qoumin, hatta yughayyiru ma bi anfusihim”. Maksudnya: “Sesungguh Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah kaum tersebut itu sendiri yang telah melakukan perubahan”.

Saya yakin panduan inilah yang menjadi nukleus penting untuk kita menjayakan impian Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. Ia bermula dari atas hingga ke bawah, bermula daripada pemimpin utama sehingga sampai kepada seluruh rakyat jelata, kita akan gagal menjayakan semua impian ini seandainya agenda perubahan tidak dapat dilakukan. Sebenarnya perubahan besar yang dituntut adalah mindset change dengan izin, perubahan minda yang mesti dibentuk dan educate kepada seluruh rakyat di Negeri Terengganu. Lebih besar agendanya ialah perubahan minda yang positif kepada ajaran Islam yang selama ini kita memandang ajaran Islam tidak memungkinkan kita maju dan terus bertapak kukuh ke depan, mindset change perlu dilakukan oleh kita bahawa kita mesti positif dengan perubahan melalui agenda yang dibawa oleh Pusat. Perubahan untuk kita lakukan ini mestilah meletakkan keyakinan, pendekatan dan pengamalan Islam dalam seluruh kehidupan kita akan memberikan kekuatan untuk memacu Negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju, negeri yang memiliki keberkatan dan negeri yang memiliki kesejahteraan. Tuan Yang Dipertua, kembali menyentuh penekanan yang dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam Titah Ucapan kelmarin. Pada halaman kelapan, berkenaan dengan kedaulatan Negeri Terengganu disentuh

berkenaan dengan royalti minyak dan juga Telaga Minyak Bertam. Sebenarnya Terengganu telah berjaya memiliki khazanah anugerah Allah Subhanahu Wata’ala yang cukup besar dan cukup bererti semenjak sekian lama. Saya sempat mengikuti satu transkrip Ucapan Belanjawan yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat, ketika itu bergelar Dato’ Haji Wan Mokhtar Ahmad pada 26 Disember 1978 dalam mempertegaskan royalti petroleum adalah hak milik Terengganu. Saya mohon izin untuk membaca teks ini supaya ia ada di dalam rakaman Dewan melalui Ucapan Perbahasan yang saya sampaikan: “Tidak satu sen pun daripada tambahan pendapatan hasil bagi tahun ini adalah melalui kenaikan kadar hasil cukai atau lesen. Punca hasil yang terbesar bagi tahun 1979 ialah perolehan daripada petroleum dan gas iaitu yang dianggar sebanyak RM52 juta. Pendapatan tersebut merupakan kadar 5% daripada nilai petroleum dan gas yang dikeluarkan dari dasar laut berhadapan dengan Negeri Terengganu mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Petronas. Tahun 1979 adalah tahun kedua bagi Negeri Terengganu menikmati hasil daripada punca yang baharu ini dalam tahun pertama iaitu semenjak dasar laut Terengganu mula memuntahkan minyak pada 13 Mac 1978. Anggaran hasil yang dipinda sehingga akhir tahun ialah sebanyak lebih kurang RM25 juta.” Inilah di antara teks yang telah dikeluarkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada waktu itu dalam menegaskan royalti minyak adalah milik Negeri Terengganu. Tetapi malangnya ia mula dinafikan pada tahun 2000 setelah PAS mengambil alih Negeri Terengganu. Ianya sejarah, saya ulangi sekadar untuk memberikan gambaran penting ini supaya mampu dirakamkan di dalam Dewan yang mulia ini, saya tidak berhasrat untuk panjangkan persoalan ini apatah lagi prinsip yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar begitu jelas untuk jadikan Terengganu sebagai ‘the much better state’. Oleh kerana itu kita tidak akan mengimbas sejarah dalam bentuk secara berterusan, cukup ia sebagai suatu rakaman, sebagai suatu lembaran yang pernah dilalui oleh Negeri Terengganu.

Pun begitu demi menguruskan kepentingan rakyat tentu sekali kita semua mengharapkan pulangan royalti minyak 5% yang perlu diuruskan oleh pihak Kerajaan Negeri. Komitmen Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk memulangkan kembali terus melalui Kerajaan Negeri adalah suatu perkara yang sangat dialu-alukan. Saya suka merakamkan pengharapan rakyat Terengganu melalui Dewan Undangan Negeri ini, pengharapan seluruh rakyat untuk melihat kembali royalti kembali ke Negeri Terengganu melalui Kerajaan Negeri Terengganu sendiri yang menguruskan.

Tuan Yang Dipertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan menyentuh secara jelas berkenaan dengan Majlis Petroleum Terengganu ataupun disebut sebagai TPC pada Mei 2017, berperanan untuk mengembalikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Semenanjung Malaysia. Ia dapat dilindungi hak dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri. Ada dua perkara utama yang sangat perlu diberi perhatian melalui ucapan yang disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Perkara yang pertama adalah menangani urusan berkaitan royalti. Perkara yang kedua ialah tuntutan hak ke atas Telaga Minyak Bertam. Semenjak ditubuhkan Mei 2017, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak Kerajaan apakah usaha yang telah dirintis TPC dalam menjayakan agenda tersebut semenjak ia ditubuhkan. Lebih mengejutkan peranan penting yang mesti dimainkan TPC menurut apa yang dititahkan oleh Tuanku Sultan adalah mengembalikan hak Telaga Minyak Bertam PM 307. Seolahnya memberikan gambaran Telaga Minyak Bertam PM 307 sebenarnya sudah tergadai kepada negeri yang lain. Apakah benar ini dilakukan oleh pihak Kerajaan Pusat yang terdahulu dan Kerajaan Negeri pula pada waktu itu mendiamkan diri sahaja dengan isu ini. Kita berharap penjelasan ini dapat dikemukakan dalam Dewan Undangan Negeri yang mulia ini. Justeru, saya berharap pihak Kerajaan dapat membentangkan usaha dan hasil yang telah diterokai oleh TPC dalam menjayakan semua isu-isu kedaulatan negeri ini.

Tuan Yang Dipertua, ramai yang berbicara tentang kebergantungan hasil Negeri Terengganu terhadap sumber petroleum semata-mata. Hasrat untuk meningkatkan hasil negeri melalui sumber yang lain seringkali menjadi madah bicara pemimpin Kerajaan Negeri sebelum ini. Saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri memperkasakan usaha untuk menjana hasil negeri dengan lebih rancak, lebih serius. Jawatankuasa Hasil Negeri perlu dioptimumkan sebaik mungkin. Unit Pelaburan yang berada di bawah UPEN perlu dijadikan sebagai task force yang mampu untuk membawa pulangan pelaburan asing dalam Negeri Terengganu. Saya difahamkan Unit Pelaburan hanya ada seorang kakitangan, mana mungkin untuk kita meraih pelaburan yang lumayan dalam keadaan kita tidak memiliki satu ketumbukan yang kuat untuk memastikan kita dapat mencapai dan juga meraih sokongan pelabur-pelabur daripada luar. Sekadar bermuhasabah dalam penggal yang lepas, kita didendangkan dengan 13 projek low hanging fruits pada tahun 2016 dengan jumlah pelaburan yang mencecah RM3.5 bilion dan dengan peluang pekerjaan mencecah 6,795 buat rakyat Negeri Terengganu. Saya kemukakan contoh yang paling hampir dalam kawasan saya ialah Projek Aviation Maintenance Repair and Overhaul yang diringkaskan sebagai MRO dengan jangkaan pelaburan sebanyak RM229 juta dan peluang pekerjaan yang dijangka sebanyak 600 peluang. Inilah yang tercatat di dalam Buku Bajet sepertimana yang telah dibentangkan suatu ketika dahulu. Apakah kita benar-benar serius dan meneliti tawaran yang dibuat oleh pelabur

sehingga kita berjaya korbankan Lapang Sasar Menembak Gong Kuin yang telah mengakibatkan perbelanjaan hampir RM6 juta untuk sistem perparitan sebagai syarat untuk Pembangunan Kompleks MRO. Apakah nasib pelaburan MRO yang telah dicanang selama ini? Ini sekadar satu contoh, belum lagi membilang keseluruhan perkara yang disenaraikan.

Saya kembali untuk menarik perhatian Dewan, perancangan untuk menjana hasil negeri perlu dilakukan secara serius agar Terengganu mampu menjadi negeri yang berdaya saing, bersifat dinamik malah tidak keterlaluan andainya disebut Terengganu sebagai sebuah negeri yang tahan lasak berdepan dengan sebarang cabaran.

Anggaran pendapatan negeri melalui Hasil Cukai dan Bukan Cukai dianggarkan sebanyak RM270.35 juta yang mencakupi Hasil Cukai sebanyak RM66.42 juta. Hasil Bukan Cukai sebanyak RM203.93 juta. Sepertimana yang telah dibentangkan dalam Ucapan Bajet 2018, anggaran ini perlu untuk Kerajaan Negeri meneliti apakah kita tidak mampu lonjakan hasil sehingga mencecah RM1 bilion dengan memanfaatkan seluruh kelebihan dalam Negeri Terengganu. Apakah kita masih lagi teruja hanya dengan royalti ataupun kita menerima royalti dalam masa yang sama kita mampu lonjakan pendapatan Negeri Terengganu. Ya, benar. Saya mengakui ia adalah suatu perkara yang sukar tetapi ia merupakan suatu perkara yang mesti disambut oleh kita untuk bergelar negeri yang lebih dinamik dan berdaya saing di hari yang mendatang ini. Jangan menunggu tahun mendatang untuk merancang tapi mulakanlah pada tahun ini demi merangka suatu bentuk perancangan berjangka masa panjang untuk melihat Negeri Terengganu yang diimpikan.

Tuan Yang Dipertua, bukan sahaja dalam aspek mencari hasil malah cara berbelanja juga perlu diperhalusi secara saksama. Pembangunan adalah suatu perkara yang penting dalam mengekalkan kestabilan kehidupan rakyat pun begitu cara dan kaedah menyusun pembangunan itu amat perlu dinilai. Saya ingin menyentuh kembali Soalan Lisan yang saya kemukakan di sebelah pagi tadi terdapat 6 projek yang dibiayai melalui kaedah PPP (Public Private Partnership) yang jumlah keseluruhan mencecah RM3 bilion. Tahun ini sahaja kita akan memulakan pembayaran sejumlah RM101.2 juta. Tahun depan kita akan memulakan pembayaran sebanyak RM290.8 juta. Menyingkap pada tahun 2020, kita akan mulakan pembayaran sebanyak RM348.1 juta sehinggalah berakhir pada tahun 2032. Walaupun kita dapat menyaksikan kita boleh membayar secara ansuran, kita perlu insaf dan kita perlu sedari bahawa konsep seperti ini boleh membunuh harapan yang dibawa oleh pihak rakyat Negeri Terengganu. Kenapa saya katakan demikian? Saya pernah mengemukakan suatu pandangan yang dikemukakan oleh pihak PAC Parlimen pada penggal yang lepas. Inisiatif PFI gagal tepati klausa, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara

berpandangan inisiatif pembiayaan swasta yang diperkenalkan Kerajaan dalam usaha mendapatkan dana bagi membiayai aktiviti pembangunan projek-projek yang dikenal pasti tidak menepati konsep sebenar program. Malahan menurut pandangan PAC, program ini adalah pinjaman Kerajaan yang off budget. Tuan Yang Dipertua, oleh kerana itu saya memohon jasa baik supaya kita meneliti dengan penuh kesaksamaan, Loji Air Bukit Sah Kemaman dan Loji Air Kuala Terengganu Utara semenjak dahulu telah dilaporkan kita akan berdepan dengan krisis air pada masa yang mendatang. Ertinya Kerajaan telah mengetahui kita akan berdepan dengan krisis air suatu ketika nanti, kita boleh untuk mengemukakan jumlah bajet yang sesuai daripada masa ke semasa tanpa perlu untuk kita menggandakan bayaran kepada pihak kontraktor yang terlibat di dalam PPT ini, sebagai suatu contoh Loji Air Kuala Terengganu Utara yang membelanjakan sebanyak RM700 juta. Kita terpaksa pulangkan balik sehingga mencecah RM1.3 bilion. Ertinya gandaan yang cukup besar untuk dibayar oleh rakyat di atas apa yang telah dilakukan dalam pembangunan ini. Kita tidak menafikan loji air itu penting, perlu pada waktu skala dan kita pejam mata untuk menyaksi ia perlu terus dibangun tetapi perlu diingat jangan beramal dengan perbelanjaan seperti ini kerana ia akan memberikan pulangan yang negatif terhadap masa depan rakyat Negeri Terengganu.

Tuan Yang Dipertua, justeru perancangan teliti pembangunan negeri secara berjangka masa panjang hendaklah diteliti secara menyeluruh dengan memanfaatkan peranan Jabatan Perancang Bandar Dan Desa, Pihak Berkuasa Tempatan, seluruh agensi yang terbabit hendaklah memainkan peranan untuk membawa cadangan berjangka masa panjang dalam pembangunan Negeri Terengganu. Saya percaya semua gagasan ini telah ada. Tinggal lagi kesungguhan pemimpin Kerajaan untuk menyambut dan melaksanakan agenda pembangunan.

Tuan Yang Dipertua, sebagai akhir, izinkan saya menyentuh sedikit berkenaan dengan sukan. Dalam suasana menuju SUKMA 2018 yang akan berlangsung pada 12 - 22 September pada tahun ini di Negeri Perak, insyaAllah kita berharap Kontinjen Negeri Terengganu akan muncul sebagai Juara SUKMA 2018. Cabarannya tidak sedikit, kesungguhan pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu dan atlet amat wajar dihargai. Dan tidak salah jika sekiranya saya mengambil kesempatan di dalam Ucapan Perbahasan saya ini untuk memberikan sedikit pulangan penghargaan buat usaha gigih bekas Exco Pelan Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Terengganu yang lepas di dalam membangunkan sukan di negeri ini iaitu Yang Berhormat Telemong. Penghargaan ini ikhlas daripada saya meskipun Yang Berhormat Telemong nampak runsing dengan nasib pasukan Jerman yang tidak menentu sekarang ini. ….(Dewan gelak) …..

Isu sukan bukan sahaja dalam SUKMA, ia meliputi bola sepak, TSG dan pelbagai sukan yang lain dan isu yang paling besar adalah kewangan. Secara kebetulan di Negeri Terengganu kita memiliki satu tabung khas tentang Pembangunan Sukan iaitu Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu. Mutakhir ini dilihat tidak begitu mendapat tempat di kalangan GLC, syarikat swasta termasuk penjawat awam ataupun penjawat swasta. Tabung ini perlu diperkasakan semula, saya mencadangkan supaya ia memiliki pengurusan sendiri untuk menyusun KPI dalam meraih sasaran kewangan yang diperlukan tanpa meletakkan kebergantungan kepada bajet pihak Kerajaan semata-mata. Tuan Yang Dipertua, dengan beberapa aspek yang saya sempat menyentuh dan meninggalkan sebahagiannya kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain untuk mengupas, maka saya mohon menyokong Titah Ucapan Tuanku. Terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Tepoh.

Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Batu Buruk.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, wassalatu wassalamu’ala rasulillah. Ammaba’d. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, para Pemerhati, hadirin-hadirat yang dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala sekalian.

Menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Ke-14 tahun 2018. Saya mulakan ucapan perbahasan ini dengan Firman Allah Subhanahu Wata’ala: “Waiz qalarobbuka lilmala iqati inni jaa ilun filardil khalifah. Ila akhiril ayah”. “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat-malaikat, sesungguhnya Aku ingin jadikan di atas muka bumi ini seorang khalifah.” Para ulama menyebut definisi al-Khilafah ialah ‘Iqomatuddin Was Siyasahtuduniawi.’ Bermaksud: ‘Menegakkan agama dan mentadbir dunia ini dengannya.’ Mentadbir dunia dalam konteks Negeri Terengganu Darul Iman ialah dengan melaksanakan dasar berasaskan kepada dengan izin, ‘Adhoru al khamis’, keperluan-keperluan lima perkara asas dalam kehidupan manusia. Yang pertama ialah keperluan ataupun asas agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, berasaskan kepada lima perkara yang disebutkan tadi maka ia menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan yang sangat besar kepada amanah yang dipikul oleh Kerajaan baharu ini untuk

memastikan ianya dapat dilaksanakan untuk membina Negeri Terengganu dengan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, dalam ayat yang saya bacakan tadi menyentuh berkait dengan mentadbir dan mengurus dunia dalam konteks di sini ialah Negeri Terengganu. Saya suka untuk menyentuh beberapa prinsip asas kepada pentabdiran yang berteraskan kepada Islam. Yang pertama ialah keredhaan Allah, ketaqwaan yang seterusnya akan menghasilkan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Yang kedua, keadilan dan kebajikan kepada rakyat. Dan yang ketiga ialah prinsip musyawarah. Sesuatu keputusan dibuat bukan sahaja daripada pihak Kerajaan bahkan ianya dibincang dengan semua peringkat, dengan pegawai-pegawai dan juga rakyat yang berada di bawah sana. Hilangnya ketiga-tiga asas ini ataupun salah satu daripadanya menjadi penyebab kepada kegagalan kerajaan-kerajaan yang mengurus dalam pemerintahan-pemerintahan daripada dulu sehinggalah ke hari ini. Kita berharap Kerajaan baharu yang dipilih oleh rakyat menggantikan Kerajaan dahulu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku untuk membina kembali Negeri Terengganu supaya ianya mendapat keredhaan daripada Allah dalam masa yang sama memberikan kebajikan kepada rakyat. Kesalahan-kesalahan dan kesilapan-kesilapan di masa yang lampau bukan sahaja untuk diteliti, dijadikan muhasabah tetapi perlu pihak Kerajaan untuk mengambil langkah-langkah supaya ianya dijadikan iktibar kerana pengurusan dan pentadbiran yang telah lalu itu perlu dilihat dan dinilai keuntungan dan kerugiannya kepada rakyat Negeri Terengganu kerana itulah matlamat yang paling utama Kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, saya suka untuk menyentuh ungkapan Titah Ucapan yang disampaikan oleh Sultan Mizan Abidin semasa perasmian semalam. Di antara apa yang dinyatakan ialah Kerajaan baharu juga diharap dapat meneruskan kesinambungan pentadbiran Kerajaan terdahulu dengan penambahbaikan bagi memastikan matlamat untuk menzahirkan negeri maju dan berpendapatan tinggi dicapai selaras dengan slogan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah menyatakan perkara ini menunjukkan bahawa Kerajaan baharu yang dipilih ini adalah satu Kerajaan yang insyaAllah, sedang dan akan mengamalkan satu budaya politik baharu di dalam Negeri Terengganu dan juga Malaysia secara umumnya iaitu budaya politik matang dan sejahtera. Sudah cukup kita berpolitik pada musim pilihan raya sekarang adalah masa untuk kita bekerja bagi kita memastikan kita bersama-sama membina Negeri Terengganu ini dengan berteraskan kepada slogan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, saya suka juga di sini suka untuk menyentuh beberapa perkara yang berkait dengan pentadbiran Kerajaan yang baharu dipilih ini yang sama-sama kita harap ia perlu diberikan perhatian. Yang pertamanya ialah sektor perdagangan. Perkara ini juga disebut di dalam ucapan Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dengan menyatakan bahawa bagaimana kadar KDNK Negeri Terengganu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9% pada tahun 2017 berbanding 3.1% pada tahun 2016. Walaupun begitu, sektor perkhidmatan khususnya daripada aktiviti perdagangan perlu dilonjakkan dengan lebih baik. Begitu juga sektor pembuatan industri yang tumbuh perlahan sekitar 3.8% berbanding 7.3% pada tahun 2016 mestilah diberikan perhatian yang serius sepanjang penggal pentadbiran ini supaya Negeri Terengganu dikenali di antara dengan izin, ‘the most attractive trading states in Malaysia’. Sektor-sektor perdagangan sedia ada seperti perniagaan borong, runcit, perhotelan, restoran, kewangan dan perkhidmatan perlu dimantapkan. Manakala subsektor baru perlu diteroka sesuai dengan perkembangan negara hari ini terutama dalam bidang e-Dagang dan bioteknologi. Sementara itu, Kerajaan Negeri perlu memastikan peluang pekerjaan yang lebih luas dapat ditawarkan kepada rakyat tempatan khususnya dalam bidang berkemahiran tinggi.

Di sini saya juga ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengoptimumkan keberkesanan pusat-pusat perniagaan dan pusat perbandaran di setiap wilayah supaya aktiviti perdagangan dapat berjalan dengan lebih rancak sehingga memberikan kesan gandaan kepada sosio ekonomi penduduk. Penyusunan semula pusat perniagaan yang tidak teratur perlu dilakukan supaya ia dapat menarik pengunjung khususnya di kawasan-kawasan utama negeri. Sektor yang kedua yang ingin saya sentuh ialah sektor perindustrian di Negeri Terengganu ini. Tugasan utama yang perlu diberikan perhatian dalam sektor perindustrian kecil dan sederhana serta berat adalah meneliti semula secara kritikal sumbangan semua kawasan industri yang mencakupi lebih 3,000 hektar yang telah dibangunkan di seluruh daerah di Negeri Terengganu. Penelitian semula ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan melakukan beberapa penyesuaian sejajar dengan perkembangan hari ini terutamanya setelah pengangkutan LPT2 telah dapat diakses dengan baik.

Struktur perkilangan perlu dikaji supaya aspek diversifikasi akan terus digiatkan dengan kluster industri yang lain berbanding dengan industri petrokimia dan industri kecil dan sederhana (IKS) sahaja. Sektor IKS perlu dimodenkan dan penggunaan teknologi tinggi perlu dimanfaatkan untuk meneroka pasaran dengan lebih luas. Di samping itu, penawaran guna tenaga mahir mesti segera di atasi untuk memenuhi keperluan industri tersebut.

Suka saya memberi contoh apabila saya menyebut tadi berkait dengan industri kecil dan sederhana. Di dalam kawasan saya DUN Batu Buruk adalah di antara kawasan yang sedang pesat membangun industri kecil dan sederhana ini seperti industri tekstil, penenunan songket, batik, kraftangan dan industri makanan keropok lekor yang rata-rata wujud di Negeri Terengganu ini. Ekoran itu saya berharap agar pihak Kerajaan turut memberikan perhatian dengan mengaplikasikan strategi lokalisasi khas untuk mengaktifkan pengusaha-pengusaha IKS dengan suntikan insentif yang lebih menarik, galakan-galakan yang lebih segar perlu disuntik agar para pengusaha khususnya dari golongan muda lebih berminat untuk menceburi dalam bidang perniagaan IKS di Negeri Terengganu.

Yang di-Pertua

Panjang lagi Yang Berhormat?

Akhirnya saya mohon menyokong Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah selesai memberikan ucapannya semalam. Sekian, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Saya nak bagi peluang kepada Yang Berhormat di sebelah sini. Sila Yang Berhormat Wakil Bukit Besi.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam sejahtera. Alhamdulillahir Rabbil Alamin. Segala puji bagi Allah yang maha berkuasa, maha mendengar lagi maha mengetahui akan apa yang terang dan yang tersembunyi dalam hati-hati manusia. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Rasulullah dan kekasih Allah, Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam yang menjadikan teladan membawa rahmat ke seluruh alam. Rahmatan bil’alamin.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, izinkan saya memulakan ucapan dengan satu peringatan untuk diri saya dan semua yang hadir dalam Dewan yang mulia ini. Tentang kemuliaan seperti Firman Allah Subhanahu Wata’ala, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman penuhi serta sempurnakanlah segala perjanjian yang kamu buat.” (Surah Al-Maidah ayat 1).

Terlebih dahulu saya melafazkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya dan inayah-Nya saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan Bukit Besi dengan penuh rasa tanggungjawab berdiri di sini untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Bagi Kali Yang Ke-14.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Dipertua kerana memberikan kesempatan dan peluang kepada saya untuk membahaskan usul tersebut. Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu Ke-15, Yang Amat Berhormat Dr. Ahmad Samsuri dan semua barisan EXCO Kerajaan yang baharu dipilih dengan harapan dapat merealisasikan janji-janji gagasan sejahtera ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, saya amat menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Mizan yang telah menitahkan agar Kerajaan yang baru supaya meneruskan kesinambungan pentadbiran sebelum ini dan pada masa yang sama akan dapat melakukan penambahbaikan bagi menzahirkan matlamat menjadikan Terengganu negeri maju dan berpendapatan tinggi.

Sesungguhnya telah banyak usaha dan kejayaan yang telah dicapai oleh Negeri Terengganu dan keseluruhannya bagi rakyat Negeri Terengganu pada masa pemerintahan sebelum ini. Justeru itu, adalah menjadi harapan saya agar dalam mentadbir negeri nanti janganlah pula segala kisah-kisah kejayaan yang telah dicapai, yang telah dilakukan oleh Kerajaan yang terdahulu dan program-program yang bermanfaat kepada sosio ekonomi negeri kita akan terus dipolitikkan. Perlu diakui ekonomi telah berkembang pesat dan adalah menjadi lebih wajar untuk Kerajaan Negeri menambahbaik pelaksanaan yang telah dirancangkan sebelum ini.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, sebenarnya keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada keharusan merangka program-program bagi mengurangi beban kos sara hidup rakyat memerlukan perancangan yang lebih berkesan. Kami dan rakyat ingin mengetahui bilakah program bantuan sebanyak RM300 untuk mendapatkan Lesen Motosikal dilaksanakan dan bagaimanakah mekanismenya? Begitu juga diharapkan Kerajaan menjelaskan lebih terperinci Bantuan Percuma Wad Kelas 3 bagi rakyat dan Penubuhan Pusat Asuhan Kanak-Kanak di pejabat.

Secara umumnya, saya mengambil pandangan positif akan janji pihak Kerajaan ini namun kami merasakan bahawa penjelasan bagaimana mekanisme dilakukan harus dijelaskan. Apakah masih perlu diwujudkan Taska seperti yang dicadangkan sedangkan Yayasan Pembangunan Keluarga iaitu YPK sendiri memiliki Taska di setiap daerah dengan kos yuran yang amat berpatutan. Adakah Pusat Asuhan Kanak-kanak yang dicadangkan ini adalah percuma Kerajaan baru?

Saya juga difahamkan Kerajaan juga berhasrat mewujudkan Kad Sejahtera bernilai RM500 setahun untuk penduduk berpendapatan rendah dan usaha ini dilihat satu usaha yang molek sebenarnya. Bagi pihak kita, kalau benar usaha ini dapat dilakukan ianya suatu usaha yang cukup baik kepada rakyat Negeri Terengganu. Dan juga difahamkan Kad Sejahtera ini laku di mana-mana klinik swasta. Di sini saya juga ingin menyarankan agar pihak Kerajaan menjelaskan mekanisme pelaksanaan cadangan ini yang kini menjadi tanda tanya kepada rakyat Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, menarik perhatian saya apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut memberikan pandangan terhadap dunia keusahawanan khususnya perkembangan revolusi industri 4.0 sebagaimana sedia maklum Kerajaan terdahulu telah berjaya menyediakan infrastruktur bagi menggalakkan anak-anak muda terlibat secara langsung dalam Keusahawanan Digital dengan tertubuhnya TD1303 di bangunan Tok Pelam Ladang. Justeru itu, adalah menjadi harapan dan juga persoalan apakah perancangan Kerajaan terhadap TD1303 ini dan bagaimana usaha itu dapat menarik galakan serta mewujudkan peluang keusahawanan digital atau keusahawanan yang seiringan dengan revolusi industri 4.0 ini.

Pada saya, saya juga ingin mendapat kepastian apakah inisiatif-inisiatif terbaharu yang dirancangkan untuk memastikan perkembangan perniagaan food truck terus tumbuh dengan lebih teratur. Kami harus menyedari bahawa usahawan tempatan masih lagi majoriti ditahap usahawan kecil dan mikro. Oleh hal yang demikian, saya mengharapkan usaha-usaha untuk meningkatkan keupayaan usahawan dapat diteruskan sebagaimana Kerajaan terdahulu lakukan. Sebelum saya mengakhiri Ucapan Menjunjung Kasih Atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia marilah kita sama-sama memahami seruan dan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk melihat Terengganu maju dan rakyat sejahtera. Justeru itu, saya menyatakan ikrar di Dewan yang mulia ini untuk terus memberi komitmen bagi menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan. Kami menolak sekeras-kerasnya politiknya kebencian yang sering digunakan oleh pihak-pihak tertentu apatah lagi ketika pada Pilihan Raya Yang Ke-14. Saya juga menyambut baik hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang menyatakan untuk membawa agenda perkongsian ekonomi dengan rakyat kerana ekonomi yang dijana oleh Kerajaan Negeri dengan pelbagai cara sekiranya tidak diatur dengan berkesan makanya ia tidak akan sampai kepada rakyat. Dalam hal ini saya pada hari ini turut menyokong. Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Wakil Bukit Besi. Ada lagi Ahli-ahli Yang Berhormat yang hendak bercakap? Sila Yang Berhormat Wakil Bandar.

Ahmad Shah bin MuhamedPAS · PNBandar

Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillahir Rabbil ‘Alamin. Wassalatu wassala mu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wa ashabihi ajmain. Ammaba’d. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan, para Pemerhati, tuan-tuan, puan-puan yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat bersama-sama berada di adalam Dewan yang mulia ini setelah kita melalui Pilihan Raya Yang Ke-14, rakyat telah memilih Ahli-ahli Yang Berhormat semua bagi mewakili mereka dan memperjuangkan hak mereka di dalam Dewan ini. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh Wakil-wakil Rakyat yang telah terpilih. Sesungguhnya amanah yang telah dibebankan kepada kita semua ini sangat besar yang sudah pasti kita akan dipersoalkan bukan sahaja oleh rakyat bahkan kita akan dipersoalkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala di hari akhirat kelak. Tuan Yang Dipertua, saya juga ingin mengambil kesempatan pada hari ini di dalam perbahasan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di dalam perkara yang berkait dengan harapan baginda untuk melihat Kerajaan baru yang memerintah Negeri Terengganu menitik berat dan menekankan soal yang berkait dengan menaik taraf kehidupan rakyat. Khususnya yang berkait dengan memperbanyak, menyediakan projek perumahan yang boleh menampung keperluan rakyat Negeri Terengganu.

Tuan Yang Dipertua, umum mengetahui bahawa hari ini kos sara hidup yang amat tinggi telah membebankan sebahagian besar daripada rakyat. Mungkin di kalangan kita ada yang berpendapatan yang tinggi tidak merasainya tetapi sebahagian besar daripada rakyat khususnya di Negeri Terengganu dan amnya di Malaysia bercakap tentang kos sara hidup yang tinggi. Bebanan ini berkait rapat dengan pendapatan mereka yang kecil apatah lagi apabila berkait dengan untuk mendapat rumah yang sudah pasti memerlukan sokongan pendapatan yang lebih untuk memiliki rumah.

Tuan Yang Dipertua, saya juga ingin menarik perhatian keperluan untuk memiliki rumah sekarang ini mengikut data yang kita dapati daripada Kerajaan Tempatan Dan Perumahan. Permohonannya sudah mencecah lebih daripada 111,000 iaitu Rumah Mampu Milik (RMM). Jumlah 111,000 ini bukan satu jumlah yang kecil yang terkumpul sehingga hari ini sedangkan rekod kita mencatat Kerajaan dan juga jabatan sebelum ini menyatakan kita hanya mampu menyediakan 1,000 unit setahun. Jadi kalau tuan-tuan Ahli-ahli Yang Berhormat melihat pada angka-

angka ini, ini adalah suatu cabaran yang sangat besar pada Kerajaan baru di dalam memenuhi hasrat menyediakan Rumah Mampu Milik kepada rakyat. Saya begitu tertarik dengan penegasan dan penekanan daripada Tuanku Sultan supaya Kerajaan benar-benar fokus kepada isu ini. Di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kita yakin persoalan perumahan Rumah Mampu Milik akan diusahakan dengan lebih berfokus dengan kita melihat bagaimana sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan untuk Tabung Pinjaman Perumahan bagi membolehkan rakyat yang kurang berkemampuan memiliki rumah dengan membuat pinjaman kepada tabung ini. Ini suatu tindakan dan juga suatu cara yang sangat bijak yang perlu kita sama-sama sokong. Dan di samping itu, sejumlah RM32 juta juga telah diperuntukkan untuk membaik pulih rumah-rumah rakyat yang uzur yang perlu kita bantu.

Tuan Yang Dipertua, sekiranya semua pihak berganding bahu bukan sahaja yang melibatkan jabatan yang terbabit, pihak swasta, NGO, parti Kerajaan dan Pembangkang sama-sama berganding bahu untuk merealisasikan harapan dan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan, saya yakin di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar persoalan Rumah Mampu Milik ini kita akan dapat sebahagian besarnya boleh diselesaikan.

Tuan Yang Dipertua, saya juga ingin merujuk kepada bagaimana untuk meningkatkan pendapatan hasil negeri. Di dalam Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu bagaimana Kerajaan perlu mengeksploitasikan alam semulajadi Negeri Terengganu yang begitu indah. Ahli-ahli Dewan yang mulia sekalian, alhamdulillah, Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan Negeri Terengganu ini tempat yang begitu cantik, pulau yang cantik, pantai yang indah dan tasik yang menarik, memang tidak dinafikan. Tetapi kemungkinan kita terlepas pandang kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala ini tidak dapat kita maksimumkan penggunaannya yang boleh menjana pendapatan yang banyak. Sepanjang pantai Negeri Terengganu pasirnya putih berbanding dengan sebahagian daripada negeri-negeri yang lain pantainya bergelut dengan selut. Begitu juga sungai dan muara Sungai Terengganu yang boleh menjana pelancongan ini juga patut diberi penekanan yang serius. Tuan Yang Dipertua, kita melihat negeri lain seperti Melaka, mereka boleh menjana duit yang begitu banyak melalui aktiviti-aktiviti pelancongan, walhal sungai mereka jauh tak sama dengan sungai kita. Tetapi mungkin dengan idea, dengan perancangan juga tindakan yang serius bukannya sahaja negeri menjana pendapatan yang tinggi tetapi juga rakyat merasai limpah pendapatan hasil daripada pelancongan. Tuan Yang Dipertua, Ahli-ahli Dewan yang dimuliakan. Oleh yang demikian, saya amat berharap apa yang dititah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu itu menjadi suatu pemangkin dan semangat untuk Kerajaan dan juga jabatan serta Ahli-ahli Yang Berhormat untuk melihat dengan secara yang

serius industri ini. Seperti mana yang disebut dan yang dititah pergantungan pendapatan hasil negeri jangan sekadar disandar kepada hasil petroleum. Yang Dipertua, saya juga ingin menyentuh sedikit tentang Perkampungan Dan Industri Tradisional di Kampung Tanjung. Kita mengetahui bahawa Kampung Tanjung sebelum ini ialah perkampungan yang menghasilkan alat-alat atau barangan tradisional seperti barangan tembaga, keris dan sebagainya. Tetapi setelah berlakunya pengambilan tanah secara besar-besaran, industri yang begitu hebat ini sudah hilang yang tinggal hanya beberapa sahaja dan yang telah luput banyak. Jadi oleh kerana itu di dalam Dewan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan supaya kita melihat secara serius industri tradisional ini yang menjadi bukan sahaja lambang kepada Perkampungan Tanjung itu sendiri tetapi lambang orang Melayu. Pembuatan barang-barang kraftangan, keris dan sebagainya adalah berkaitan dengan lambang Kemelayuan. Oleh yang demikian, adalah suatu perkara yang bijak sekiranya pihak Kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat semua berusaha untuk berfikir dan bagaimana kita nak menjana balik industri yang memang nostalgia ini yang boleh bukan sahaja menarik pelancong daripada dalam negeri bahkan pelancong daripada luar negeri. Saya yakin sekiranya industri ini diberi nafas baru insyaAllah, negeri kita bukan sahaja boleh dilihat sebagai sebuah negeri yang mempunyai pendapatan daripada hasil petroleum, ia juga dapat menjana pendapatan daripada industri-industri tradisional dan juga pelancongan.

Tuan Yang Dipertua …..

Yang di-Pertua

Panjang lagi Yang Berhormat?

Ahmad Shah bin MuhamedPAS · PNBandar

Takdok dah, sikit jer lagi. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan bahawa kita di dalam Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini telah melancarkan Kempen Terengganu Bersih yang kita mulakan di dalam Parlimen Kuala Terengganu. Langkah pertama kita ialah kita turun di pantai di belakang Masjid Terapung. Alhamdulillah selepas pada itu, kita melihat reaksi rakyat bagaimana mereka menyokong tindakan ini untuk melihat negeri kita cantik dan bersih. Seterusnya, dia tidak berhenti di situ, kita telah melalui satu lagi program yang sama di Pantai Batu Buruk. Bersih dan sihat ni dia sinonim, apabila bersih maka boleh jadi sihat. Kalau tidak ada bersih maka tidak ada sihat. Jadi Tuan Yang Dipertua, saya juga ingin merujuk sedikit kes yang sekarang ini berlaku di Terengganu. Kita sekarang di lokasi Drawbridge yang sekarang ini menular wabak Denggi. Setakat hari ini, rujukan kita daripada Pengarah Kesihatan Negeri, semalam ada satu kes baru dan kita sekarang sudah mencatat 14 kes di sekitar Drawbridge sahaja. Di Kuala Terengganu kita dah ada 34 kes dan keseluruhan Negeri Terengganu sudah mencapai 102 kes sehingga akhir

Jun. Jadi kita perlu kepada kempen kesedaran untuk menyedarkan rakyat, menyedarkan masyarakat, pihak Kerajaan, semua Ahli Yang Berhormat untuk berganding bahu memberikan kesedaran supaya negeri kita bersih bebas daripada tempat pembiakan nyamuk dan insyaAllah menjadikan persekitaran yang sihat.

Tuan Yang Dipertua, sekadar itulah ucapan saya, saya mohon menyokong Titah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan. Assalamu’alaikum warahmatullah.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Wakil Bandar. Ada sesiapa lagi Yang Berhormat yang hendak bercakap? Saya persilakan Yang Berhormat Rantau Abang.

Haji Alias bin HarunPAS · GSRantau Abang

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Pemerhati-pemerhati, seterusnya tuan-tuan, puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala. Kita masih dalam Ucapan Kebawah Duli Tuanku dan saya mengambil kesempatan untuk sama-sama berkongsi pandangan untuk kita manfaatkan di Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, izinkan saya untuk meneruskan ucapan saya ini. Pertama, alhamdulillah, sejak 1999 sehingga 2004 semasa PAS memerintah Negeri Terengganu suatu usaha yang amat terbaik sekali telah kita capai semasa pemerintahan itu. Di mana Tuanku telahpun merestui dan menandatangani suatu Enakmen Syariah sebagai ibu Perlembagaan Negeri Terengganu. Alhamdulillah, pada 27.10.2003 ianya telah diwartakan sebagai Enakmen dan menjadi ibu Perlembagaan dan mestilah dilaksanakan dengan sesungguhnya mengikut keupayaan yang dibenarkan dalam Perlembagaan Negeri Terengganu. Dan alhamdulillah, hari ini setelah Pilihan Raya Ke-14, PAS telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Negeri Terengganu, alhamdulillah. Dan sebagai orang Islam sudah tentulah perkara ini menjadi perkara utama untuk kita meneruskan pelaksanaan segala titah perintah Allah kerana apa sahaja yang kita nak selesaikan mestilah penyelesaian Islam: “al Islamu ya'lu wala yu'la alaih” (bermaksud): Islam itu tinggi tidak ada yang lebih tinggi. Siapa yang nak meninggikan Islam, kitalah orang Melayu yang mengaku Islam yang mengambil tanggungjawab memikul amanah yang berat ini untuk kita memperkasakan, memertabatkan syiar Allah di atas muka bumi ini kalau tidak seperti yang telah dimaklumkan oleh sahabat-sahabat tadi menjadi tanggungjawab yang besar bukan sahaja kita nak menjawab kepada sesama manusia tetapi yang lebih besarnya bagaimana setelah kita dipanggil oleh Allah dan di Mahsyar nanti kita akan diperhitungkan segala gerak kerja kita untuk kita

nak jawab dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan kita sebagai pemegang amanah ini sama-samalah kita memikul.

Oleh itu, saya mengharapkan apa sahaja agenda Kerajaan sekarang ini terutama sekali dalam nak melaksanakan syiar Allah ini, saya benar-benar mengharapkan semua golongan masyarakat sama ada daripada Yang Berhormat di sebelah sana ataupun Kerajaan dan juga kepada pegawai-pegawai yang memikul tanggungjawab ini memberi perhatian dan memberi kerjasama yang sebenar-benarnya supaya apa yang nak dilaksanakan ini dapat kita capai hasrat ini. Saya takut dalam kita nak merancang, melaksana ada di kalangan orang yang mengaku Islam juga yang membantah, yang memberi kelainan pandangan yang tidak sama sekali mengikut pandangan syariat Allah. Jadi saya memohon dengan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini, kita mengharapkan kerana Tuanku telahpun menandatangani pada tahun 2003 lagi tetapi ianya tidak diperkasakan. Ini perkara utama yang saya nak tarik perhatian kepada diri saya yang telah diamanahkan untuk melaksanakan perkara utama kita ini dan nak mengajak semua yang ada sama ada dalam Dewan ini mahupun kepada rakyat umum.

Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, perkara yang menjadi rungutan selain daripada kos sara hidup yang tinggi yang paling juga menarik perhatian kami ialah berkaitan dengan tingginya pengangguran di kalangan rakyat di Negeri Terengganu sendiri. Walaupun, Negeri Terengganu kalau kita lihat daripada apa yang telah kita adakan seperti kita mengadakan tempat-tempat latihan kemahiran yang tinggi dan anak-anak tempatan kita telahpun mendapat kemahiran-kemahiran ini tetapi peluang pekerjaan kepada mereka dari hari ke hari sudah tidak ternyata. Oleh itu, ini merupakan sasaran kita dengan manifesto yang kita keluarkan sebelum pilihan raya ini salah satu daripadanya ialah nak menambah tenaga kerja, 20,000 peluang pekerjaan selama 4 tahun berperingkat-peringkat untuk kita memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan supaya mereka dapat meringankan kos sara hidup mereka yang terbeban daripada dulu hingga sekarang ini. Kita mengharapkan peluang-peluang pekerjaan ini perlulah kita hayati betul-betul supaya apa yang telah berlalu terdahulu terutama sekali apabila kita mempelawakan pelabur-pelabur daripada luar kita tidak sangat mengambil suatu sikap tegas berkaitan dengan kuota pengambilan tenaga kerja. Dan insyaAllah, ini merupakan perjuangan kita untuk kita teruskan supaya kuota pengambilan tenaga kerja daripada pelabur-pelabur merupakan syarat untuk kita letakkan supaya anak-anak tempatan yang berkemahiran yang ada ini supaya mereka jugak diberi peluang pekerjaan untuk menyara hidup mereka.

Perkara yang kedua, yang saya nak sentuh ini ialah berkaitan dengan apa yang ada yang Allah kurniakan kepada kita selain daripada gas dan petroleum. Di tempat saya iaitu di DUN Rantau Abang, saya telahpun bangkit beberapa kali

tetapi saya juga nak mengambil peluang ini supaya hasil bumi daripada silika ini hendaklah menjadi target utama kepada Kerajaan Negeri di mana hasil yang keluar sekarang ini bukan kata tidak ada hasil tetapi pulangan kepada Kerajaan Negeri begitu minimum. Perlu ada suatu kajian dan insyaAllah, saya rasa perkara ini telahpun kita kemukakan dahulu dan ini merupakan perjuangan kita untuk kita wujudkan kilang kalau tidak di Bari, di Rantau Abang ataupun di tempat-tempat lain yang sesuai yang berdekatan yang boleh kita bangunkan supaya apabila industri wujud sudah tentulah peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dapat kita perbanyakkan. Jadi silika yang terdapat di Bukit Senyamuk di Rantau Abang ini mutunya adalah mutu yang terbaik jika dibanding daripada silika-silika di tempat lain, sama ada di Setiu ke ataupun di tempat-tempat lain tetapi silika yang dikeluarkan sekarang ini berlori-lori telah diangkut keluar daripada Rantau Abang ke luar negeri daripada Negeri Terengganu. Kenapa tidak, kita mengambilkan ini sebagai suatu daya usaha untuk kita majukan Negeri Terengganu ini dan salah satu daripadanya ialah industri silika kerana hasil daripada industri silika ini akan terbentuknya industri hiliran kerana mutu pengeluaran silika ini untuk dijadikan sebagai pembuatan kaca panel solar, tv lab, LCD dan komponen-komponen elektronik. Ianya begitu memberi masa depan yang baik kepada Negeri Terengganu untuk kita sungguh-sungguh memperjuangkan supaya industri dapat dibina di tempat kita. Perkara yang ketiga ialah berkaitan dengan Rumah Mampu Milik yang menjadi Titah Ucapan Tuanku sebagai perkara utama juga untuk kita mengambil perhatian. Rumah Mampu Milik ini yang saya nak kongsinya ialah yang telah dibina dan telah siap tetapi masih ada lagi kekosongan yang tidak dimiliki oleh pemohon-pemohon. Kalau saya dengar tadi daripada ADUN Bandar 111,000 pemohon sekarang ini tetapi rumah yang telah siap terutama sekali di Batu 7 masih ada lagi kekosongan. Dan yang kita takutnya ialah apabila kita turun ke rumah-rumah yang telah siap tidak didiami yang terjadinya ialah rumah-rumah ini telahpun makin hari semakin mengalami kerosakan atapnya, tingkapnya mungkin kita tak tahu siapa yang melakukannya tetapi kita minta supaya rumah-rumah ini perlulah dipenuhi oleh sebahagian daripada permintaan terutama sekali permintaan daripada anak-anak tempatan. Jangan pula kita ambil daripada yang jauh sebab menyusahkan mereka. Anak-anak tempatanpun masih kekurangan daripada memiliki rumah ini. Itu perkara yang ketiga.

Yang di-Pertua

Panjang lagi Yang Berhormat?

Haji Alias bin HarunPAS · GSRantau Abang

Sikit lagi.

Perkara terakhir ialah berkait dengan penempatan. Penerokaan tanah walaupun selalu disebut-sebut tetapi perkara ini tidak dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Saya mohonlah kepada pegawai-pegawai berkenaan supaya selesaikan penempatan ini terutama sekali kepada anak-anak tempatan generasi kedua, ketiga yang masih tinggal bersama-sama dengan keluarga mereka.

Kesian mereka daripada kecil sampailah ke dewasa masih tinggal dengan keluarga kerana mereka tidak mendapat peluang untuk ditempatkan di tanah-tanah yang masih kekosongannya terlalu banyak. Dan saya mengharapkan perkara-perkara ini perlulah mendapat pertimbangan yang sewajarnya di kalangan pegawai-pegawai. Terima kasih kepada pegawai selama ini yang membantu Kerajaan dan kita juga mengharapkan berilah komitmen yang sedia ada kepada Kerajaan yang baru memerintah ini supaya kita dapat memanfaatkan rakyat kerana motto PAS ialah kita nak Terengganu Maju, kita nak Terengganu Berkat dan kita nak Rakyat Sejahtera.

Sekadar itu daripada saya. Saya mohon menyokong Titah Ucapan Tuanku. Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Wakil Rantau Abang. Sila Yang Berhormat Telemong.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdulillahir Rabbil ‘Alamin. Wassalatu wassalamu’ala asyrofil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua. Dan juga saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua atas pelantikan sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu pada kali ini.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan seterusnya kepada para Pemerhati yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala pada hari ini kita dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Yang Ke-14 baru-baru ini.

Saya juga bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana masih lagi berdiri di dalam Dewan yang mulia ini untuk sama-sama memikul tanggungjawab dan insyaAllah saya akan cuba sedaya upaya saya akan memberi dan juga menunaikan tanggungjawab yang telah diberi amanah ini dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang saya kasihi sekalian. Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk sama-sama

merafakkan sembah dan juga menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah menitahkan Ucapan Perasmian Pembukaan Penggal Yang Ke-14 Dewan Undangan Negeri pada kali ini.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian. Pada Pilihan Raya Yang Ke-14 baru-baru ini kita telah melihat satu perubahan yang cukup besar dalam negara kita dan juga dalam negeri kita yang mana kita semua sedia maklum bahawa satu perubahan tampuk kepimpinan bagi Kerajaan dan juga merupakan satu titik sejarah kepada negara kita yang mana perubahan dari segi pentadbiran kepada Kerajaan Pusat di bawah Kerajaan Barisan Nasional pada masa dahulu kepada sebuah Kerajaan Pakatan Harapan yang pertama kali sejak dari kita merdeka sehingga hampir 60 tahun lebih ianya menjadi satu perubahan dalam negara kita.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan-rakan saya yang di sebelah parti Pembangkang, eh… parti Kerajaan…. (sambil gelak kecil) …..

Yang di-Pertua

Terbalik tu Yang Berhormat.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Tersalah tu Yang Berhormat sebab biasa duduk balik nun.

Sebab lama dah memerintah, biasa dia dah.

Yang di-Pertua

Haa..haa..haa… (Gelak).

Tersasul sekali sekala.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Ya, tersalah. Tak apalah selepas ni takut musing pulak…..(sambil gelak)…. Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, minta maaf. Jadi saya mengucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah berjaya membentuk sebuah Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Kerajaan Negeri PAS dalam Negeri Terengganu ini. Dan saya juga mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan dan juga merasa amat berbangga dengan slogan yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar iaitu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. Saya berharap apa yang telah diungkapkan itu akan dilaksanakan dengan penuh jiwa dan raga demi untuk kebaikan rakyat Negeri Terengganu. Kita bagi pihak Pembangkang pada kali ini, saya tidak suka dan tidak selesa menggunakan Pembangkang sebenarnya dan saya yakin dan percaya bahawa jiwa-jiwa kami ini daripada semua rakan-rakan saya pun kita lebih suka

mendengar dan hasrat kita adalah kepada ‘Penegur Yang Setia’ kepada Kerajaan. Dan insyaAllah, kita akan menasihat dan juga menegur Kerajaan di mana apa yang betul kita akan kata betul dan apa yang tidak betul kita akan kata tidak betul. Kita tidak akan jadi Pembangkang yang kita akan membangkang segala-galanya, apa yang Kerajaan buat itu tidak betul, kita bangkang segala-galanya, buat jambatan dok betul, buat menatang tu ….(Dewan gelak) …. Buat benda ni dok betul, tidak. InsyaAllah, kita tidak akan jadi seperti itu dan untuk kebaikan dan juga kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu ini, insyaAllah. Yang Berhormat Yang Dipertua …..

Laluan sikit.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Ada pulak!

Sila, sila. Pesengan kasar jugak ni….. (sambil gelak) ….

Terima kasih Yang Berhormat Telemong atas laluan yang diberikan. Adakah Yang Berhormat bersetuju Pembangkang penggal yang lepas juga mengambil sikap yang hampir sama seperti yang disebut oleh Yang Berhormat.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Tak apalah Yang Berhormat Pembangkang dah mula kan, Yang Berhormat tahu dah, tak apalah.

Yang Berhormat Yang Dipertua, dikesempatan ini juga saya ingin meneruskan satu-dua perkara lagi. Yang pertamanya, saya berharap Kerajaan Negeri supaya menitikberat dan juga memberikan perhatian khususnya Pembangunan di Tasik Kenyir. Saya ni Wakil Rakyat Telemong, Kenyir tu kawasan saya. Waktu dulu-dulu kita pernah mendengar bahawa banyak tohmahan daripada semua pihak yang menyatakan pelaburan Kerajaan Negeri ini merupakan suatu pembaziran kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Saya nak beritahu dan juga ingin menegaskan di sini bahawa di kawasan Telemong ini khususnya di Hulu Terengganu ianya tidak ada sumber selain daripada kemudahan dan juga pembangunan daripada pelancongan. Kita tidak ada kawasan industri yang besar-besar. Oleh sebab itu, saya rasa pelaburan Kerajaan Negeri terdahulu yang membuat pelaburan yang begitu besar di Tasik Kenyir ini merupakan pelaburan jangka masa panjang. Memanglah kalau kita nak tengok dalam jangka masa pendek sudah tentu pelaburan dan juga pulangan dalam bentuk kewangan dalam masa yang singkat sudah tentu tidak akan tercapai. Oleh sebab itu, kita melihat ianya dalam jangka masa yang cukup panjang. Walaupun pelaburan itu terpaksa dibuat secara besar-besaran dalam tempoh yang singkat iaitu untuk mengejar kepada pembangunan yang telah lama tertinggal di Hulu

Terengganu. Oleh sebab itu, saya berdiri di sini ingin menegaskan dan juga merayu kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Kerajaan Negeri pada hari ini selaku yang bertanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan ini demi mempastikan pembangunan dan apa jua yang memberi manfaat kepada rakyat itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Dalam soal peruntukan dan juga masalah kewangan tak usah ceritalah, hak ni kita faham belaka. Masalah pitih ni tidak akan cukup sampai bila-bila. Dalam diri kita sendiri pun berkaitan dengan kewangan ni, ianya sentiasa tidak mencukupi tapi saya yakin dan percaya atas kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebagai orang yang berpengalaman dan juga profesional, beliau akan berjaya mengatasi masalah ini. Dan juga akan dapat menyelesaikan masalah-masalah ini dengan cara yang terbaik demi kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu dan juga orang Hulu Terengganu.

Yang Berhormat Yang Dipertua, saya juga ingin menyentuh beberapa perkara berkenaan dengan projek-projek pembangunan yang harus diteruskan di Hulu Terengganu. Pertamanya, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat ADUN Kuala Berang sebagai Exco yang bertanggungjawab dalam bidang ini dan saya melihat projek-projek seperti Kompleks Sukan di Kuala Berang itu sendiri yang juga harus diteruskan. Begitu juga dengan Bandar Baru Kuala Ping juga saya berharap ianya akan diteruskan. Kesemua ini adalah pembangunan yang akan memberi impak ekonomi yang besar kepada rakyat kawasan setempat dan insyaAllah di masa-masa yang akan datang. Juga ia akan menaikkan taraf ekonomi masyarakat di kawasan tersebut daripada bergantung 100% kepada pertanian sebelum pada ini akan bertukar kepada mereka-mereka yang berniaga dan juga mencari pendapatan dalam bentuk yang lain sedikit selepas daripada pembangunan ini diteruskan.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, saya juga ingin menekankan berkaitan Pembangunan Sukan di Negeri Terengganu. Saya dan juga rakan-rakan di sebelah sini telah berusaha sedaya upaya untuk menaikkan martabat dan juga nama Negeri Terengganu dalam bidang sukan di negara ini dengan berbagai-bagai cara dan kaedah. Saya yakin dan percaya dengan kepimpinan Exco Belia dan Sukan dan juga Timbalannya sekarang ini yang saya lihat dan saya berkeyakinan dengan kepimpinan ini Yang Amat Berhormat boleh diteruskan cuma bantuan dan juga sokongan daripada Kerajaaan Negeri cukup-cukup diperlukan. Sebab saya juga sangat faham bahawa peruntukan untuk belia dan sukan ini terlalu besar sebenarnya. Dan kalau kita juga mengharapkan pulangan yang awal memang ianya tidak nampak kerana Pembangunan Belia Dan Sukan ini adalah berbentuk pembangunan kepada insaniah, pembangunan dalaman, pembangunan fizikal dan sebagainya. Oleh sebab itu, saya memohon supaya diberi prioriti yang utama oleh Kerajaan Negeri sebab kalau kita lihat dalam pembangunan belia dan sukan ini ianya tidak nampak dalam bentuk pulangan

‘value for money’ dengan izin Tuan Yang Dipertua dalam masa yang singkat tapi ianya akan memberi satu rebranding yang baik untuk Negeri Terengganu dalam bidang sukan ini. Kalau kita tengok negara-negara maju sekalipun, mana ada negara-negara maju yang tidak kuat sukan. Kalau kita tengok Negara Jepun contohnya, mereka kuat. Kita tengok Negara Korea, kuat. Kalau kita tengok negara-negara di sebelah Eropah pun mereka kuat dalam bidang sukan ini dan ianya sudah tentu menuntut kepada satu pelaburan yang besar daripada Kerajaan Negeri. Dan insyaAllah dengan pembentukan perlumbaan negara-negara yang maju ini untuk memajukan sukan mereka sudah tentu mereka tahu akhirnya pulangan untuk negeri dan juga negara itu cukup besar dalam jangka masa yang panjang. Sebab itu pada tahun-tahun yang sudah, pada penggal-penggal yang lepas kita juga menyediakan peruntukan yang agak besar sebenarnya dalam pembangunan belia dan sukan ini walaupun kita dikritik dan juga kita dihamburkan dengan pelbagai tohmahan, kita tetap dengan pendirian kita dan kita yakin dan percaya bahawa belia ini merupakan aset yang sangat penting kepada negeri dan juga negara kita.

Oleh sebab itu, dengan pembangunan kita di Terengganu ini dengan pembangunan basikal profesionalnya, dengan penyediaan atlet SUKMAnya, dengan penyediaan hoki profesionalnya dan sebagainya. Dan saya dengan secara ikhlas dan jujurnya, saya memberitahu bahawa saya bersedia untuk membantu dan saya sentiasa berhubung dengan Yang Berhormat Exco dan Timbalan Exco Belia dan Sukan untuk membantu menaikkan sukan Negeri Terengganu demi untuk rakyat dan juga belia-belia di Negeri Terengganu ini. Jadi wallahu wa’alam. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Saya mohon menyokong dan merafak sembah di atas ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada semalam. Sekian, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Telemong dengan satu sikap yang cukup positif, insyaAllah. Sekarang kita sudah melebihi 1.00 tengah hari dan saya berhasrat untuk menangguhkan sidang kita ini. Sebelum itu, saya nak memanjangkan jemputan ke Jamuan Makan Tengah Hari yang dihoskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu. Ahli-ahli Yang Berhormat di Damai Lounge manakala ketua-ketua jabatan di Perkarangan Dewan Undangan Negeri.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara dan disambung semula pukul 2.30 petang. DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 1.05 TENGAH HARI. PUKUL 2.30 PETANG

Yang di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Mesyuarat disambung semula. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum pada itu saya nak tahu berapa ramai lagi Ahli-ahli Yang Berhormat yang hendak bercakap? Sila angkat tangan. Saya persilakan Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin. Wassalatu wassalamu’asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wa asyhabihi waman tabi’ahum bi ihsani ila yaumiddin. Ammaba’d.

Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, seluruh Pemerhati yang berada dalam Dewan yang mulia ini dan yang mengikuti siaran secara langsung pada sesi petang kali ini.

Saya mengambil kesempatan kali ini untuk mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana kita diberi keizinan olehNya untuk sama-sama berhimpun dalam Dewan yang mulia ini bagi menyampaikan Ucapan Menjunjung Kasih Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan yang telah sudi untuk mencemar duli bagi menyampaikan titah sempena Perasmian Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Kali Yang Keempat Belas.

Apa yang telah dititahkan oleh Tuanku Al-Sultan, pada pagi kelmarin menjelaskan hasrat dan hala tuju yang perlu digerakkan oleh kepimpinan Kerajaan bagi memastikan dan menterjemahkan Kerajaan dan juga rakyat ke arah satu pemerintahan dan pentadbiran yang bukan sahaja berjaya di dunia bahkan ia juga berjaya di akhirat.

Saya juga ingin mengambil peluang dan kesempatan ini untuk menyampaikan Ucapan Tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Haji Yahaya bin Ali di atas pelantikan sebagai Speaker bagi Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Keempat Belas. Saya mendoakan agar Yang Berhormat Yang Dipertua diberi kekuatan oleh Allah dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan saksama.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang telah terpilih menduduki kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan masing-masing. Dan rasanya masih belum terlambat untuk juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat bekas Menteri Besar berserta Ahli Majlis

Mesyuarat Kerajaan yang lalu yang telah mengemudi Kerajaan Negeri pada sesi yang lalu dan sekarang ini disambung oleh Kerajaan kepimpinan yang baru. Tuan Yang Dipertua, kemenangan Parti Islam dalam Pilihan Raya Umum Yang Keempat Belas sehingga mampu untuk membentuk Kerajaan dengan motto ataupun slogan ‘Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera’ adalah merupakan aspirasi rakyat yang ingin melihat satu perubahan dan pembaharuan. Dalam membentuk negeri dan juga masyarakat yang aman di bawah lembayung rahmat dan juga keampunan Allah. Pertukaran kepimpinan Kerajaan adalah merupakan perkara biasa yang berlaku di mana-mana negara yang beramal dengan sistem demokrasi. Kerajaan yang dilantik memegang amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat melalui peti undi berdasarkan kehendak aspirasi dan kesedaran tinggi rakyat untuk melihat dan menikmati perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, berkualiti berdasarkan kepada objektif dan manifesto daripada parti pilihan masing-masing.

Rakyat Negeri Terengganu sudah bersuara dan membuat keputusan untuk memilih Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai peneraju bagi kedaulatan dan peradaban bangsa berasaskan Al-Quran yang menjadi teras dan juga perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Tuan Yang Dipertua, saya ingin merujuk kepada Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ingin melihat Terengganu kini dapat ditadbir dan dapat membangunkan pembangunan sama ada dari sudut pembangunan madani ataupun pembangunan negeri dan juga pembangunan insan dalam rangka yang selari dan selaras. Jadi antara yang ditekankan oleh Tuanku Al-Sultan ialah berkaitan dengan peluang ataupun industri pelancongan yang disebut berkenaan dengan kita mempunyai kawasan-kawasan ataupun pulau-pulau yang cantik, pulau-pulau yang menarik yang boleh dibangunkan.

Jadi saya pada hari ini suka untuk mencadangkan, di samping kita memberi fokus kepada tempat-tempat yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan-kawasan industri pelancongan sama ada Pulau Redang, Pulau Perhentian dan lain-lain pulau lagi. Ada suatu perkara yang perlu untuk kita beri perhatian ialah berkenaan dengan Pembangunan Kampung Melayu Tradisi yang perlu diberi perhatian untuk dijadikan sebagai pakej atau perkara yang perlu diberi perhatian dalam kita memastikan industri pelancongan ini dapat menjadi penjana yang utama hasil kepada negeri selepas daripada hasil petroleum. Jadi saya mohon untuk mencadangkan pada Dewan yang mulia ini untuk kita melihat bagaimana kalau kaum Cina mereka boleh dan berupaya untuk membina kampung tradisi mereka dan kita ucapkan tahniah kepada Kerajaan, agensi Kerajaan, NGO dan persatuan-persatuan yang telahpun membangunkan

Kampung Cina ini sebagai satu kampung yang dipelihara dari sudut tradisinya, dipelihara dari sudut tradisionalnya dan alhamdulillah dia menjadi satu pakej pelancongan pada hari ini. Jadi saya nak mencadangkan supaya Kerajaan Negeri melihat bagaimana di kawasan Bandar Kuala Terengganu ini ada beberapa tempat yang sudahpun diambil alih untuk dimajukan dengan projek-projek pembangunan, dengan kedai-kedai dan seumpamanya. Di dalam masa yang sama kita mengharapkan supaya pihak Kerajaan dapat melihat supaya dikekalkan satu kampung atau beberapa buah kampung dalam Bandar Kuala Terengganu untuk dijadikan ‘Kampung Melayu Tradisi’ dengan mengekalkan elemen-elemen tradisional Melayu merangkumi pembangunan persekitaran serta produk yang perlu diberi perhatian.

Yang Berhormat Bandar ada menyebut berkenaan dengan industri tembaga, berkenaan dengan industri songket, keris dan seumpamanya. Jadi kita nak cadangkan supaya industri tembaga, batik, songket, keris, makanan tradisional ia berada di Kampung Tradisi Melayu ini yang diberi perhatian khusus oleh Kerajaan Negeri untuk terus berada di tengah bandar bukan sahaja untuk kita kekalkan kampung tradisi itu tetapi juga ia merupakan satu pakej pelancongan yang boleh menjanakan pendapatan.

Kita sedang mencari dan kita sedang mewarwarkan bahawa kalau nak maju kita kena bina bangunan yang besar-besar, bangunan yang tinggi-tinggi tetapi kita lupa bahawa masa sekarang, hari ini, kemajuan yang ada kadang-kadang mengakibatkan manusia itu menjadi satu masalah pula kepada mereka. Apa kata Kerajaan yang baru ini, di samping kita nak kejar kemajuan, kita membina satu indeks baru Indeks Kesejahteraan Warga yang berada di Terengganu. Kita bina indeks ini dan kita gerakkan indeks ini supaya kemajuan yang kita nak capai, kita jugak mengambil kira keperluan-keperluan masyarakat, keperluan rakyat dan keperluan penduduk. Dan kita cadangkan supaya dibina Kampung Melayu Tradisi ini untuk memberi ruang kepada orang Melayu yang masih lagi berada di Bandar Kuala Terengganu ini untuk mereka rasa selesa, untuk mereka terus berada di situ menjalankan aktiviti-aktiviti dengan pantauan daripada Kerajaan atau agensi-agensi yang berkaitan untuk memastikan mereka rasa selesa dengan kehidupan mereka dan mereka boleh menjana dengan peluang pekerjaan di tempat kelahiran mereka.

Tuan Yang Dipertua, menyahut apa yang dititahkan oleh Tuanku Al-Sultan, pada hari kelmarin, saya juga ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini untuk kita memberi perhatian berkenaan dengan pusat-pusat pelancongan yang ada yang dulu telah beroperasi tapi hari ini ia seolah-olah macam orang kata ‘hidup segan mati tak mahu’. Hah, payah juga nak sebut tu pasal ada rasa berdebar juga sikit ni. Jadi ‘hidup segan mati tak mahu ni’, contohnya saya boleh sebut, pada tahun 1998 rasanya, kita telahpun memperkenalkan Pakej Pelancongan Menyusuri Sungai Marang. Tahun 2006 kita telah masukkan pakej ini dalam Kalendar

Pelancongan Negeri dan pada tahun 2018 di manakah pakej ini? Tahun 2018 pakej ini seolah-olah tidak ada dalam kalendar pelancongan yang perlu untuk kita nilai balik dan perlu untuk kita lihat balik kerana menyusuri Sungai Marang ini bukan sahaja untuk kita melihat suasana Sungai Marang itu tetapi di sana ada nilai-nilai yang perlu untuk kita tanam kepada generasi baru yang hari ini mereka membesar dengan teknologi yang ada, mereka membesar dengan handphone, mereka membesar dengan dunia mereka yang akhirnya mereka tidak membicarakan lagi berkenaaan dengan masalah ataupun berkenaan dengan perkara yang menjadi tradisi pembesaran kita pada suatu masa dahulu. Jadi saya suka untuk menarik perhatian menyusuri Sungai Marang ini, di samping kita boleh melihat haiwan-haiwan yang ada, kita juga perlu mendedahkan kepada anak-anak kita khususnya mereka yang menjadi perantau, berhijrah, berada di Kuala Lumpur, membesar di Kuala Lumpur ataupun kepada pelancong-pelancong asing yang mungkin tidak mengenali cara hidup masyarakat Melayu tradisi, di sana kita boleh mempersembahkan suatu yang menarik.

Menyusuri Sungai Marang itu dia akan jumpa Kampung Jenang. Saya nak fokus Kampung Jenang pasal Jenang duduk dalam Pengkalan Berangan. Jenang ni dia ada beberapa perusahaan tradisi. Yang pertama, kita boleh tonjolkan kepada generasi muda yang tidak terdedah dengan kehidupan kampung ini, mereka boleh melihat bagaimana masyarakat kampung berinteraksi dengan alam. Mereka boleh melihat bagaimana bebasnya ayam, bebasnya itik, bebasnya lembu, kambing berkeliaran dalam suasana kampung yang boleh kita dedahkan kepada anak-anak generasi muda untuk mereka menghayati dan juga untuk menikmati keindahan alam.

Yang kedua, di Jenang ini ada dua perusahaan. Yang pertama, perusahaan untuk buat manisan (nissang) daripada air tuak, orang luar panggil air nira. Kalau orang Terengganu pulak panggil nissang kerek. Manisan di Jenang ni adalah antara manisan yang asli yang perlu dipersembahkan ataupun perlu dipamerkan kepada masyarakat. Dan saya rasa cukup yakin bahawa ia mampu untuk menggamit, menarik pelancong untuk melihat secara langsung bagaimana usaha, bagaimana pengusaha itu melakukan kerja bermula dari naik pokok nyior, orang Terengganu panggil khabak pokok nyior. Kalau pokok rendah tak apa tapi kalau pokok yang tinggi 20 hingga 30 kaki, maka kita boleh lihat bagaimana kesusahannya. Ini merupakan satu perkara yang kita rasa ada nilai yang cukup untuk menggamit pelancong untuk menikmati suasana ini. Begitu jugak boleh tengok bagaimana cara dan kaedah untuk membuat manisan. Dan di samping itu, di Jenang ini juga ada tempat perusahaan menganyam atap nipah. Jadi ini adalah elemen-elemen tradisional yang perlu untuk diberi perhatian bagi memastikan pelancong ataupun orang luar boleh untuk datang melawat ke tempat kita dan kita kena bina dia punya infra, kita kena promosi dan kita kena tarik mereka untuk mari ke kampung kita. Dengan demikian kita Kerajaan secara tidak langsung akan menjana pendapatan dan juga memberi peluang

pekerjaan kepada rakyat sebagaimana yang telah diwarwarkan dalam manifesto 20,000 tawaran pekerjaan dalam masa empat tahun kita memerintah. Tuan Yang Dipertua, sebelum akhirnya, saya juga suka untuk menarik perhatian berkenaan dengan satu perkara yang dikemukakan dalam soalan dan kalau ikut notisnya telahpun terlepas pada hari ini iaitu berkenaan dengan Lembah Kaprima Tanjung Gaduh. Lembah Kaprima Tanjung Gaduh ini adalah projek yang dilaksanakan dan ia telahpun siap cuma sekarang ini tidak mempunyai pengusaha untuk mengusahakan ternakan kambing di Lembah Kaprima Tanjung Gaduh. Jadi kita mengharapkan supaya Kerajaan yang baharu ini dapat memberi perhatian dan kecaknaan untuk mempastikan infra yang ada itu dapat digunapakai bagi memastikan ia tidak berlaku padanya pembaziran yang mengakibatkan duit Kerajaan ataupun perbelanjaan Kerajaan menjadi tidak bernilai. Jadi kita mengharapkan supaya Lembah Kaprima Tanjung Gaduh dan lembah-lembah kaprima yang lain dapat diberi perhatian khusus oleh Exco yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah yang ada ini.

Jadi saya dengan ini mohon untuk menyokong. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan. Ada sesiapa lagi yang nak bercakap? Wakil dari Permaisuri. Sila.

Datuk Abdul Halim bin JusohUMNO · BNPermaisuri

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Exco, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan dan Pemerhati yang saya hormati.

Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang mencemar duli berangkat dan bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri yang Keempat Belas.

Terima kasih Yang Dipertua kerana mengizinkan saya untuk membahaskan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Dipertua Dewan dan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah terpilih untuk menerajui kepimpinan Negeri Terengganu Darul Iman untuk Penggal Yang Keempat Belas.

Menjunjung kasih Tuanku Sultan kerana dalam titahnya menyebut secara spesifik Setiu Wetland sebagai destinasi pelancongan. Yang Dipertua Dewan, Setiu Wetland adalah merupakan satu kawasan yang telah lama dibangunkan tetapi pembangunannya adalah secara berperingkat-peringkat dan terlalu

perlahan. Sebenarnya Setiu Wetland adalah merupakan satu destinasi pelancongan yang jarang-jarang ada di tempat-tempat yang lain di negeri kita mahupun di negeri-negeri yang lain.

Jadi saya mencadangkan supaya inisiatif yang lebih ekstensif sepatutnya diambil untuk membangunkan Setiu Wetland sebagai destinasi pelancongan dan ianya juga sepatutnya diberi peluang kepada universiti-universiti untuk menjadi pusat penyelidikan ekosistem yang berkaitan dengan wetland ini. Dengan adanya inisiatif ini ianya akan menjana pendapatan kepada penduduk setempat yang mana merupakan terdiri daripada golongan nelayan yang mana termasuk dalam golongan B40 ataupun Below 40.

Pembahas sebelum ini banyak menyebut tentang pembangunan dalam Negeri Terengganu dalam pelbagai aspek tetapi tidak ramai yang membahaskan tentang kemajuan pendidikan Negeri Terengganu. Secara spesifik juga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam titahnya menyebut tentang kejayaan 3 orang murid Sekoleh Menengah Kebangsaan Kuala Besut yang telah berjaya mengharumkan nama negara dan juga nama negeri di peringkat antarabangsa. Ini menunjukkan bahawasanya anak-anak luar bandar jika dididik dengan sempurna dan diberikan tempat pendidikan yang sempurna dan dijaga dengan baik oleh pendidik-pendidik mereka, mereka bukan sahaja mampu mencapai kejayaan di peringkat negara malah mereka juga akan mampu berjaya di peringkat antarabangsa.

Saya di sini ingin menyebut kepada Dewan bahawasanya kita mempunyai sistem pendidikan yang baik, yang rapi dan juga telah mencapai banyak kejayaan di tahun-tahun sebelum ini. Cuma saya memohon kepada Dewan supaya Sekolah Menengah Elit yang sebelum ini tidak diberi perhatian yang berfokus supaya difokuskan semula supaya Sekolah Menengah Elit yang kita telah buat sejak 10 tahun yang lalu dapat dipulihkan semula. Sekolah Menengah Elit ini perlu diberi bajet yang cukup, perlu diberi perhatian yang cukup sama ada melalui JPN dan juga Kerajaan Negeri untuk dijadikan ataupun diberi suntikan yang cukup sebagai Sekolah Berasrama Penuh. Jika Sekolah Menengah Elit ini diberi suntikan yang cukup maka ianya akan boleh memberi tempat kepada mungkin lebih kurang 2,000 pelajar sekolah rendah yang tidak berpeluang untuk belajar di sekolah-sekolah menengah asrama penuh yang ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan. Jadi Sekolah Menengah Elit ini konsep asalnya ialah merupakan sekolah berasrama iaitu berasal dari sekolah harian tetapi melalui suntikan bajet oleh Kerajaan Negeri ianya boleh dinaiktaraf sebagai sekolah berasrama penuh maka anak-anak kita yang tidak berapa berjaya dalam peperiksaan UPSR sekolah rendah boleh di tempat di sini. Maka mereka insya Allah akan menjadi pelajar-pelajar yang berjaya sebagaimana 3 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut tadi.

Kita juga ada Sekolah Menengah IMTIAZ, alhamdulillah di seluruh daerah dalam Negeri Terengganu. Saya ingin menegaskan di sini supaya Sekolah Menengah IMTIAZ ini dikekalkan konsepnya. Sekolah Menengah IMTIAZ bukannya sekolah agama tetapi Sekolah Menengah IMTIAZ adalah merupakan Sekolah Menengah Sains yang melahirkan Hafiz dan Hafizah. Jadi konsepnya hendaklah dikekalkan supaya Negeri Terengganu akan melahirkan generasi saintis yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknologi dan sains tetapi mereka adalah merupakan Hafiz dan juga Hafizah yang akan memberikan keberkatan kepada negeri kita, Negeri Terengganu.

Tuan Yang Dipertua Dewan, Daerah Setiu tidak lagi bergelar Daerah Bongsu seperti sebelum ini. Bongsu Daerah Setiu telah diambil alih oleh Daerah Kuala Nerus tetapi dari segi kemajuan Daerah Setiu dilihat agak terbantut kerana Daerah Setiu memerlukan penduduk yang cukup untuk menjana ekonomi Daerah Setiu. Tanpa kuasa beli yang baik di Daerah Setiu maka Bandar Permaisuri tidak akan menjadi sebuah bandar yang boleh sustain ataupun boleh menjana ekonomi dan memberi peluang perniagaan serta pekerjaan kepada penduduk-penduduk setempat. Untuk mempastikan Daerah Setiu dan juga Bandar Permaisuri mempunyai penduduk yang cukup untuk menjana ekonomi setempat maka saya mencadangkan supaya projek-projek Perumahan Mampu Milik diadakan secara ekstensif di kawasan sekitar Bandar Permaisuri untuk memberi peluang pemilikan rumah bukan sahaja kepada orang Permaisuri tetapi untuk diduduki oleh pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di Daerah Setiu. Untuk makluman Dewan juga, setakat ini penjawat awam yang bertugas di Daerah Setiu tidak dapat tinggal di kawasan Daerah Setiu kerana kita tidak mempunyai rumah yang setaraf dengan mereka untuk mereka bukan sahaja bekerja tetapi menetap ataupun duduk di Daerah Setiu.

Tuan Yang Dipertua Dewan, akhirnya kita terlepas pandang bahawasanya satu-satunya lagun yang berada di Semenanjung Malaysia adalah di Daerah Setiu. Laguna Setiu ini pada suatu peringkat dahulu telah menjana hasil perniagaan sejumlah lebih kurang RM20 juta setahun iaitu hasil daripada pemuliharaan dan hasil jualan ikan siakap. Tetapi tidak ada satu inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memulihara Laguna Setiu ini supaya lebih banyak kawasan di kawasan Laguna Setiu ini boleh digunakan untuk memelihara ikan siakap dan juga ikan kerapu hibrid. Kalau kita dapat menggunakan keseluruhan kawasan Laguna Setiu ini, saya yakin dan percaya ianya dapat mengeluarkan ramai lagi orang miskin yang ada di sekitar Kuala Setiu dan juga di Daerah Setiu kerana mereka akan berpeluang untuk menggunakan Laguna Setiu ini untuk memelihara bukan sahaja ikan siakap tetapi juga ikan kerapu hibrid yang mana peluangnya ianya boleh menjana pendapatan dalam daerah yang mungkin akan sampai kepada jumlah lebih kurang RM60 juta insyaAllah pada masa-masa yang akan datang.

Tuan Yang Dipertua, itulah sahaja yang dapat saya bahaskan pada hari ini untuk saya maklumkan kepada Dewan dan untuk saya menyokong Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Permaisuri mohon menyokong. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Wakil Permaisuri.

Ada lagi Ahli-ahli Yang Berhormat lain yang hendak bercakap? Sila Yang Berhormat Kemasik.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillahir Rabbil Alamin. Assalatu wassala mu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Alhamdulillah, terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, para Pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

Bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memberi keizinan kepada kita untuk menghadiri Sidang Dewan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas ini. Yang Berhormat Yang Dipertua, di kesempatan yang diberikan kepada saya pada hari ini, izinkan saya untuk merakamkan dan menyembah ucapan penghargaan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah bertitah menyentuh dasar-dasar Kerajaan bersempena dengan Pembukaan Penggal Persidangan Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas kali ini.

Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan beberapa perkara yang telah disentuh. Antara lainnya adalah berkenaan dengan; peningkatan tahap sosio ekonomi dan kemakmuran negeri; menarik pelaburan dalam dan luar negeri; pengurusan kewangan; pelancongan dan lain-lain. Semua ini menunjukkan rasa keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan ke atas kepentingan rakyat, kasih baginda kepada rakyat dan cinta baginda kepada rakyat.

Kami berkeyakinan Kerajaan baharu Terengganu yang diterajui oleh kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sedang dan akan terus merancang, merangka dan melaksanakan program-program yang akan meningkatkan tahap sosio ekonomi dan kemakmuran negeri. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu turut bertitah dan menyentuh berkenaan pengurusan kewangan yang perlu diurus secara berhemah dan perbelanjaan negeri yang perlu dipantau dengan teliti. Budaya integriti dan akauntabiliti yang tinggi perlu diperkasa dan diteruskan pada setiap kerja yang dilakukan dan tanggungjawab yang diamanahkan. Jauhi korupsi, jauhi kronisme, jauhi nepotisme, klepktokrasi dan

segala yang mungkar yang akan mendorong kepada turunnya keberkatan kepada negeri kita. Kerjasama baik di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, agensi dan Badan-badan Berkanun serta semua Ahli Yang Berhormat diyakini akan mampu meneruskan, malah meningkatkan lagi keupayaan dalam meneraju dan memajukan Negeri Terengganu yang tercinta ini. Seterusnya, saya yakin kita sama-sama bersetuju bahawa kemajuan Negeri Terengganu yang kita bina dengan bantuan keberkatan Allah sudah pasti akan melahirkan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.

Tuan Yang Dipertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan turut bertitah dan menyatakan beberapa harapan baginda kepada pembentukan Majlis Petroleum (TPC). Terdahulu Yang Berhormat Tepoh membentangkan berkenaan dengan royalti. Saya mungkin mengambil sedikit tajuk ini bagi membincangkan ataupun untuk mempersembahkan bagaimana perlu kita menggunakan sepenuhnya platform yang ada ini bagi mengenalpasti potensi-potensi baharu yang dalam usaha menarik lebih ramai pelabur-pelabur dari syarikat-syarikat asing dan juga domestik. Dengan langkah-langkah yang lebih proaktif dalam usaha untuk menambah pendapatan negeri juga meningkatkan peluang-peluang pekerjaan di Kemaman dan juga Negeri Terengganu. Justeru TPC perlu lebih kuat dalam mengenalpasti ruang dan peluang baharu ini dan sudah pasti ia memerlukan kepada kalangan orang yang mahir dalam perniagaan minyak dan gas untuk mengetuainya. Sebagaimana kita sedia maklum, TPC ini dinaungi oleh Sultan dalam memastikan setiap kepentingan minyak dan gas di Negeri Terengganu kita. Pelbagai kaedah ataupun pendekatan-pendekatan baru yang perlu kita kenal pasti, antara lain bagaimana untuk kita mengambil pegangan saham dan ekuiti terutama sekali di sektor-sektor ataupun di company-company, sebagai contoh Terengganu Tank Truck Loading Rack (TTLR), Kertih Terminal dan lain-lain lagi yang kita yakin dan percaya dengan adanya kita di dalam syarikat-syarikat tersebut ia dapat membantu negeri dalam menambah pendapatan. Tuan Yang Dipertua, untuk Kemaman sudah pasti industri ataupun sumber pendapatan yang terbesar kepada rakyatnya juga kepada ekuitinya adalah berkenaan ataupun meliputi kerja-kerja minyak dan gas. Kita perlu secara infrastrukturnya lengkap ataupun lebih baik bagi memastikan pelabur-pelabur ataupun pembangunan kepada peniaga-peniaga ataupun kepada pelabur-pelabur tersebut lebih kondusif. Sebagai contoh yang saya boleh sebut berkenaan dengan kepentingan adanya infra-infra yang lebih baik di kawasan Kemaman yang kita yakin dan percaya dia merupakan satu tempat yang menjadi sumber pendapatan yang besar kepada negeri itu sendiri. Infrastruktur ataupun keperluan-keperluan asas sebagai contoh private hospital, kebanyakan pekerja-pekerja yang bekerja di Kemaman mereka mempunyai kelayakan untuk menerima rawatan di private hospital. Di Kemaman malah di Terengganu sendiri barulah di Kuala Terengganu ada, sebelum ni takdok menyebabkan mereka

keluar daripada Terengganu dan pergi ke Kuantan untuk mendapatkan rawatan-rawatan tersebut.

Justeru, saya yakin dan percaya prasarana ataupun infra lain, sebagai contoh, di Kemaman kekangan tempat-tempat berehat walaupun pantainya cantik tetapi infranya tidak dibangunkan dengan baik menyebabkan pekerja-pekerja yang saya yakin dan percaya hari minggunya mereka perlu mencari tempat untuk berehat, mereka mampu tetapi oleh kerana keadaan infranya yang tidak baik sebagai contoh di kawasan saya di DUN Kemasik. Kita ada pantai yang cantik, Pantai Kertih dan Pantai Kemasik namun tiada pembangunan yang sewajarnya dibuat di sana menyebabkan hari minggu kalau kita tengok di Kertih dan di Kemasik boleh dikatakan tidak ramai orang malah takdok orang, mereka semua ke Kuantan, ke Baserah malah ada yang terus ke Kuala Lumpur untuk mereka berehat juga berbelanja. Justeru itu, bagi menyokong saya yakin dan percaya dalam usaha kita menyokong pembangunan perlu kita menyediakan berusaha memastikan prasarana-prasarana yang sewajarnya perlu kita beri kepada kawasan Kemaman terutama sekali DUN Kemasik.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan turut menitahkan berkenaan mewujudkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi dipelbagai sektor dengan memperkasakan pusat-pusat latihan kemahiran yang telah sedia ada. Saya ambil jugalah satu lagi tempat yang saya yakin dan percaya mengeluarkan banyak tenaga-tenaga mahir, antaranya adalah Ruane TATI dan beberapa lagi tempat ataupun institusi dalam membentuk ataupun dalam membina tenaga kerja mahir. Keadaan kita lihat sekarang suasana dan keadaan pembangunan TATIUC itu sendiri kita lihat semakin malap dan semakin berkurangan. Tenaga-tenaga mahir yang terdahulu sudah pasti berada di Kertih kerana ekonomi yang sedikit merosot telah keluar ke negeri-negeri sebagai contoh, Johor, Pengerang dan sebagainya menyebabkan kita kekurangan ataupun kelopongan tenaga-tenaga mahir. Kelopongan tersebut perlu diganti atau perlu dipenuhi oleh tenaga-tenaga mahir baharu yang sudah pasti memerlukan kepada Kerajaan Negeri itu sendiri menyediakan tempat yang baik untuk mereka, insyaAllah.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah berkenaan dengan tenaga kerja ini yang kita perlu sediakan dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 yang berjalan. Kehadiran Revolusi Industri 4.0 yang menekankan pembinaan teknologi realiti maya tanpa banyak menggunakan tenaga manusia pasti memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan. Kumpulan Menengah Rendah adalah golongan yang menjadi kumpulan paling terjejas kerana secara perlahan menjadi kelompok yang tidak diperlukan dalam ekonomi. Kumpulan Menengah Rendah ini mudah diganti dengan robot dan sistem kerana mereka tidak mempunyai tactics knowledge yang boleh ditawarkan kepada majikan dan ekonomi secara keseluruhannya. Akibat diganti dengan peralatan komputer dan

komunikasi digital lain, kumpulan ini akhirnya akan terpinggir dalam sistem ekonomi baru nanti.

Berbeza dengan kumpulan berpendapatan rendah, meskipun status sama dengan kumpulan berpendapatan sederhana tetapi tetap mempunyai perbezaan positif kebanyakan mereka mengekalkan pekerja masing-masing. Pekerja-pekerja pertengahan akan nanti kita kena kenal pasti apakah solusi supaya mereka terus berdaya saing dalam menghadapi Revolusi Industri itu nanti, insyaAllah.

Saya rasa itulah serba sedikit yang saya boleh bawa untuk perbahasan pada kali ini. Semoga kita terus bersama Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam membina Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Tuan Yang Dipertua, saya menyokong Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

Terima kasih.

Wabillahi taufik wal hidayah.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Kemasik. Sila Wakil Kuala Besut.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahillazi la yadurru ma’asmihi syaiun fil ardi wala fissama’ wa huwassami’ul alim. Rabisyrahli sadri wayasirli amri wahlul ukhdatan minlisani yafkauhu qauli. Amin. Terima kasih Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, wakil-wakil ketua jabatan, sidang Pemerhati sekalian, seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang ambo sayangi sekalian.

Terima kasih sekali lagi kepada Tuan Yang Dipertua kerana memberi ruang kepada saya untuk sama-sama mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada petang ini. Walaupun petang ini agak mengantuk tapi kita mengambil tanggungjawab kita untuk sama-sama membahaskan pelbagai isu dan perkara khususnya melibatkan Titah Ucapan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan semasa sesi Istiadat Pembukaan Penggal semalam bagi kita membincangkan kesejahteraan dan juga kemakmuran negeri kita khususnya rakyat di Negeri Terengganu dan rakyat di kawasan masing-masing. Sukacita saya ingin memetik dan merujuk, straight to the point dengan izin, saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam muka surat empat Buku Titah Ucapan ini yang mana Titah Tuanku menyarankan, izinkan saya

membaca petikannya: “Kerajaan baharu juga diharap dapat meneruskan kesinambungan pentadbiran Kerajaan terdahulu dengan penambahbaikan bagi memastikan matlamat untuk menzahirkan negeri maju dan berpendapatan tinggi dapat dicapai selaras dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”. Selain daripada itu, Tuan Yang Dipertua, tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati dan dikasihi sekalian. Saya juga ingin menyentuh perkara yang dititahkan oleh Tuanku juga merujuk kepada KDNK Negeri Terengganu. Kalau mengikut tahun 2017, kita mendapat 5.9% berlaku kenaikan sebanyak 2.8% daripada KDNK Negeri Terengganu pada tahun 2016. Ini menunjukkan kecemerlangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan terdahulu yang perlu diteruskan kesinambungan kecemerlangan tersebut oleh Kerajaan pada masa kini. Jadi marilah kita pakat berusaha agar peningkatan KDNK yang telah dilaksanakan, yang telah dijayakan oleh Kerajaan yang terdahulu dapat ditingkatkan oleh Kerajaan baharu yang ada pada hari ini.

Tuan Yang Dipertua, perkara yang berikut yang saya ingin sentuh adalah merujuk kepada muka surat lapan, Buku Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku iaitu Tuanku memohon supaya Kerajaan Negeri terus mengeksploitasi keindahan alam semulajadi pantai dan pulau seperti Setiu Wetland, Pulau Redang dan termasuklah Pulau Perhentian di Kuala Besut, Pulau Kapas, Tasik Kenyir bagi menarik pelancong asing dan juga tempatan untuk menggiatkan lagi ekonomi setempat. Sebab kita semua sedia maklum bahawa kesan positif daripada industri pelancongan bukan sahaja memberi kesan kepada pembangunan ataupun ekonomi negeri secara langsung tetapi juga memberi kesan pembangunan ekonomi yang sangat positif kepada masyarakat kerana ianya mempunyai rantaian kesan ekonomi yang positif kepada masyarakat khususnya melibatkan golongan B40 dan juga peniaga-peniaga kecil yang berada di kampung daripada sekecil-kecil peniaga sampailah kepada syarikat-syarikat besar dan juga pemborong-pemborong. Jadi kita memohon supaya pihak Kerajaan pada masa kini meneruskan lagi, memperkasakan lagi industri pelancongan yang ada di negeri kita kerana kita dapat lihat sekarang ini kerana saya di Kuala Besut apabila kita berada di Jeti Kuala Besut dan kadang-kadang apabila kita naik kapal terbang di Airport Pengkalan Chepa kita dapat lihat ramai pelancong daripada luar negara yang turun, yang landing di Airport Pengkalan Chepa, Kota Bharu, bila kita tanya nak ke mana, sebahagian besar daripada mereka khususnya pelancong-pelancong asing nak mari ke Pulau Perhentian, nak mari bawa duit, nak mari melabur, nak mari berbelanja di Negeri Terengganu yang kita sayangi ini. Jadi saya mohon supaya pihak Kerajaan terus dan terus memperkasakan industri pelancongan dengan memperkasakan dan memperbanyakkan lagi dengan membaikpulih dan mempertingkatkan lagi khususnya infrastruktur dan juga promosi yang telah diadakan oleh Kerajaan terdahulu. Ini kerana impak positif atau kesan yang sangat positif hasil promosi yang agresif yang dilaksanakan oleh mantan Menteri Besar dan juga kepimpinan

terdahulu, kita dapat lihat dah masa lening ramai dah pelancong-pelancong yang mari kerana hasil promosi yang diadakan oleh Kerajaan terdahulu. Tuan Yang Dipertua dan Sidang Dewan yang mulia sekalian. Begitu juga dengan agenda pembangunan di kawasan setempat. Apabila kita bercakap tentang kesejahteraan rakyat, apabila kita bercakap tentang kemakmuran rakyat, kita tidak boleh lari bercakap tentang pembangunan infrastruktur. Ini kerana kalau infrastruktur tidak lengkap maka rakyatpun akan rasa tidak selesa. Sebagai contohnya, saya ada Soalan Lisan pada hari ini tetapi tidak sempat nak tanya Y.B. Exco kerana masa telah tamat iaitu mengenai pembangunan infrastruktur di Negeri Terengganu khususnya termasuklah pembangunan infrastruktur di kawasan saya di kawasan Kuala Besut. Ini adalah kerana sebagaimana soalan saya pada pagi tadi yang sepatutnya berbunyi: Apakah perancangan pihak Kerajaan untuk menangani isu-isu banjir kilat? Kerana di Terengganu ataupun di Kuala Besutlah secara khususnya di mana kita mempunyai empat jenis banjir. Yang pertama, banjir akibat limpahan air sungai. Melibatkan banjir dalam lembangan sungai. Yang kedua, banjir akibat daripada kesan berlakunya banjir kilat. Air sungai tidak melimpah lagi, air longkang melimpah dan masuk ke dalam rumah orang dan boleh membanjiri dan melimpahi masuk ke dalam rumah-rumah khususnya di taman-taman perumahan. Yang ketiga, banjir yang melibatkan air pasang besar. Kita yang duduk di Kuala Besut juga mengalami air pasang besar dan boleh membanjiri kawasan-kawasan yang rendah di tepi-tepi sungai dan juga di tepi-tepi pantai kesan daripada backflow dengan izin, ataupun kesan limpahan ombak besar dan sebagainya. Yang keempat, banjir di Kuala Besut dan termasuk di kawasan rakan saya di Batu Rakit iaitu melibatkan banjir di pulau-pulau. Kita lama dah tak dengar banjir di pulau ni tapi kita mohon supaya pihak Kerajaan supaya menitikberatkan juga tentang pembangunan sistem longkang ataupun sistem saliran di pulau kerana akibat pesatnya pembangunan chalet-chalet dan juga resort-resort di pulau-pulau kita menyebabkan berlakunya keadaan banjir kilat yang mana meresahkan, menyukarkan pergerakan khususnya pelancong dan juga penduduk di Pulau Perhentian dan juga di Pulau Redang. Jadi mohon pihak Kerajaan menitikberatkan perkara tersebut.

Ada satu perkara lagi apabila kita bercakap tentang banjir kilat, saya di Kuala Besut difahamkan oleh jabatan-jabatan berkenaan saya difahamkan secara lisan telah ada kelulusan tentang untuk mengurangkan kesan banjir di Kampung Pacakan, Kampung Kayu Kelat, Kampung Pekan Baru, Kampung Gertak Seratus, Kampung Teluk Bayu dan juga melibatkan Taman Sri Intan. Di mana apabila kita gabung kampung-kampung yang saya sebutkan tadi boleh melibatkan 2,000 orang penduduk. Jadi saya difahamkan oleh jabatan teknikal di Besut khususnya telah ada perancangan untuk membina satu pembetung ataupun culvert yang besar merintangi jalan utama iaitu daripada Kuala Besut menuju ke Kelantan, ke Pasir Putih. Sekiranya culvert tersebut dibina, insyaAllah boleh mengurangkan kesan banjir yang melibatkan 2,000 orang penduduk di kawasan yang saya

sebutkan tadi. Jadi saya mohon pihak Kerajaan memberi pencerahan dalam sesi penggulungan nanti.

Tuan Yang Dipertua dan Sidang Dewan yang saya hormati sekalian. Perkara berikut iaitu perkara yang keempat adalah patik mewakili masyarakat Kuala Besut menzahirkan Ucapan Menjunjung Kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di atas Titah Tuanku yang mana telah memberi ucapan tahniah dan juga syabas dan penghargaan kalau kita rujuk muka surat 16 - 17. Ucapan tahniah dan juga syabas ini ditujukan kepada para pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, sebuah sekolah menengah harian luar bandar dan juga duduk di perkampungan nelayan. Seorang daripadanya Syazwan adalah anak kepada seorang Cikgu. Anuar ialah seorang anak nelayan dan yang ketiga, Nabihah merupakan anak seorang di mana ibunya seorang peniaga di pasar dan ayahnya sakit dan memang seorang yang susah dan berada dalam kelompok keluarga yang kurang berkemampuan.

Walaupun begitu, kesan daripada program-program yang dilancarkan oleh pihak jabatan dan pelbagai aktiviti yang diusahakan oleh guru dan juga inisiatif yang diambil oleh Kerajaan sendiri, mereka daripada KuBest Innovation Team Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut pada 29 Mei 2018 yang lalu di Gyeongju, Korea Selatan telah mengharumkan bukan sahaja nama Kuala Besut tapi juga nama Negeri Terengganu Darul Iman dan juga Negara Malaysia yang telah menjadi Juara Dunia. Telah menjadi Juara Peringkat Antarabangsa dengan mengalahkan negara-negara yang mempunyai tenaga nuklear dan telah lama dalam industri nuklear tetapi kita telah mengalahkan mereka dengan mengalahkan negara seperti Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan juga Korea Selatan. InsyaAllah pada akhir bulan 8 nanti, mereka dijemput untuk memberi syarahan di hadapan Sidang Perwakilan dalam Washington Youth Congress di St. Petersburg Rusia nanti.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Wakil Seberang Takir yang membangkitkan dalam Soalan Lisan tadi di mana saya juga selaku YDP PIBG di mana kita mempunyai sumber yang agak kekurangan. Jadi kita mohon kepada pihak Kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar tersebut demi kesinambungan dan kecemerlangan mereka agar perbelanjaan mereka ke Rusia nanti dapat ditampung kerana pihak penganjur hanya memberi tanggungan kepada tiga orang pelajar dan seorang guru sahaja. Sedangkan saya difahamkan Pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia, bila ada pelajar wanita maka ia memerlukan seorang guru pengiring wanita. Jadi kita memerlukan sokongan oleh pihak Kerajaan untuk membawa mereka ke sana, mereka bukanlah sahaja merupakan juara negeri, bukannya juara kebangsaan tetapi mereka merupakan juara di peringkat dunia yang mana telah membuka banyak mata-mata daripada khususnya daripada negara-negara yang mempunyai industri nuklear yang telah lama lagi daripada kita.

Tuan Yang Dipertua, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Kejayaan ini bukan sahaja kejayaan pelajar dan guru-guru tersebut tetapi kejayaan ini juga adalah kerana program-program yang dirancang oleh Kerajaan terdahulu iaitu program yang dipanggil dengan izin, Program ETA ataupun English Teaching Assistant Programme. Kita dapat melihat pelajar-pelajar daripada sekolah menengah harian biasa di luar bandar, di peringkat kampung ni boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan begitu lancar dan begitu hebat sekali.

Tuan Yang Dipertua, tuan-tuan dan puan-puan Sidang Dewan yang saya hormati dan dikasihi sekalian. Perkara yang berikutnya dan yang akhirnya, merujuk kepada Buku Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan pada muka surat enam dan juga merujuk kepada Soalan Bertulis saya yang mana soalan yang kelima saya iaitu: Apakah peranan Kerajaan dalam usaha memenuhi keperluan perumahan kepada golongan muda dan juga B40 tapi malangnya soalan ini ditolak oleh pihak Kerajaan. Saya dah baca Peraturan Tetap Dewan iaitu berdasarkan klausa 26(4A)(a) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu. Jadi kalau saya baca klausa ini macam tak ada masalahpun dari segi soalan ini tapi tak apalah ditolak oleh pihak Kerajaan. Cuma yang menjadi persoalan .....

Yang di-Pertua

Yang Berhormat boleh rujuk perkara 26(2) ada 17 sebab kenapa soalan itu ditolak. Tapi ini bukan untuk perbahasan, saya cuma mengingatkan sahaja. Tak apa, sila teruskan.

Cuma yang menjadi persoalannya, soalan yang saya tanya tersebut melibatkan keperluan perumahan kepada golongan muda dan juga B40 telah disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, merujuk kepada muka surat enam, Buku Titah Ucapan iaitu saya memetik kata-kata Tuanku: Pada pandangan beta Kerajaan Negeri juga perlu memberi tumpuan dalam usaha merangka dan merancang program-program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan meningkatkan hasil pendapatan negeri mengatasi masalah kos peningkatan sara hidup, menambah peluang-peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran dan membina lebih banyak rumah kediaman terutama kepada golongan B40. Jadi macam soalan saya jugak ni. Jadi saya mohon pihak Kerajaan dalam sesi penggulungan nanti memberi pencerahan agar saya dan juga rakan-rakan yang lain dapat memberi pencerahan yang lebih jelas lagi kepada penduduk khususnya di kawasan saya di Kuala Besut. Dan yang akhirnya, yang betul-betul akhirnyalah Tuan Yang Dipertua dan Sidang Dewan, saya ingin menyentuh pada muka surat 17, Buku Titah Ucapan Tuanku

juga, saya baca petikannya: Beta menyeru kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, agensi serta Badan-badan Berkanun untuk mempereratkan lagi bagi mempastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dan beta berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat tanpa mengira fahaman politik, khasnya daripada sebelah sini dan juga di sebelah sana bekerjasama dan bersatu hati dalam memajukan negeri yang tercinta ke arah Terengganu Maju dalam segala bidang serta diberi keberkatan agar rakyat hidup sejahtera selaras dengan slogan Kerajaan sekarang ini iaitu ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’. Dan apabila kita nak tengok rakyat kita sejahtera maksudnya kalau boleh dari segi bajet dan juga peruntukan pembangunan dan apa-apa jua bajet dapat kita agihkan sama rata sebelah sana dan juga di sebelah sini.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon menyokong. Terima kasih. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakil Kuala Besut. Sebelum saya nak tangguh ni, lepas ni ada tak lagi yang hendak bercakap? Ada ya. Tak apa saya akan bagi peluang selepas tangguhan ini. Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 4.00 petang. Terima kasih.

DEWAN DITANGGUH PADA PUKUL 3.45 PETANG.

PUKUL 4.10 PETANG

Yang di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Mesyuarat disambung semula. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Ada lagi Ahli-ahli Yang Berhormat yang hendak bercakap? Saya persilakan Wakil Jertih.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam sejahtera Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan serta hadirin-hadirat sekalian. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terlebih dahulu saya dengan penuh hormat dan takzim merafak sembah penghargaan menjunjung setinggi-tinggi terima kasih di atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu semalam sempena Istiadat Pembukaan Perasmian Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas.

Sebelum terlupa, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah di atas pelantikan Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri. Saya juga turut berterima kasih kepada pengundi-pengundi daripada Jertih yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili beliau bagi Dewan Undangan Negeri Jertih.

Pertamanya, saya rasa syukur kerana proses peralihan Kerajaan telah berjalan dengan baik, dengan sempurna tanpa berlaku apa-apa masalah. Dan kita melihat bahawa pertukaran Kerajaan ini tidak berlaku dengan cara sebagaimana berlaku semasa peralihan Kerajaan tahun 1999. Jadi nampak ada satu

perubahan yang agak baiklah mungkin kerana mengamalkan politik matang? Ya, politik matang dan sejahtera. Terima kasih.

Saya melihat ini adalah suatu pembaharuan yang telah dibuat yang mana masing-masing rasa ada tanggungjawab untuk kepentingan rakyat. Dan saya memohon supaya ada satu cadangan Yang Berhormat Yang Dipertua, iaitu semasa proses menjelang pilihan raya yang lalu ada bajet daripada Federal yang sepatutnya bajet ini adalah untuk melaksanakan lebuh raya ataupun Jalan Keruak ke Gunung Bongsu. Tetapi disebabkan bajet ini tidak cukup sebagaimana yang diperlukan maka menjelang pilihan raya Kerajaan Federal telah bersetuju sebenarnya untuk mengganti projek tersebut dengan membina Flyover di Jertih bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang mana hari ini bukan sahaja berlaku menjelang hari-hari perayaan tetapi kita tengok hari ini walaupun hari cuti-cuti biasa malah pada hari Khamis pun telah berlaku kesesakan yang menggelisahkan rakyat. Jadi sepanjang pengetahuan saya, saya diberitahu bahawa designnya telahpun siap, bengkel antara Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Federal telahpun dibuat iaitu di Kota Bharu iaitu dari segi pelaksanaan di mana bengkel ini untuk difinal dari segi design, costing dan sebagainya telah pun siap. Cuma untuk kita nak meneruskan politik matang ini, saya harap supaya kesinambungan antara negeri dan Federal ini kita kena teruskan demi untuk kepentingan rakyat tanpa kita mengambil kira perbezaan politik. Flyover ini adalah merupakan kehendak rakyat yang telah sekian lama bukan sahaja untuk di Daerah Besut sebenarnya, bukan sahaja di Jertih malah untuk mereka yang di Negeri Kelantan juga kerana semakin hari bilangan kenderaan semakin bertambah, rakyat juga bertambah dan kalau ianya tidak kita follow-up maka bagi saya amat rugi sekalilah. Dan follow-up itu tentu sekalilah ia memerlukan suara daripada Kerajaan dengan Kerajaan.

Okey seterusnya, saya tengok dalam muka surat 11, ada dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku semalam iaitu, saya baca sebahagian petikannya: Di samping itu, Kerajaan Negeri juga perlu meningkatkan inisiatif kepada golong belia dan seterusnya beta menyeru kepada rakyat untuk menceburi, meneroka produk-produk pertanian yang baru yang mempunyai potensi pada masa hadapan. Dan adalah baik untuk mempelbagaikan usaha untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sektor yang diminati oleh golongan belia. Yang mana saranan oleh Duli Yang Maha Mulia ini adalah merupakan satu perkara yang sangat menarik dan berketepatan dengan program yang kita buat dulu iaitu SKB (Sumber Kekayaan Baru) kerana kita melihat hari ini ramai daripada mereka yang susah untuk nak mencari kerja. Dan bidang pertanian ini dan sektor pertanian tidak begitu sebenarnya digemari oleh golongan belia. Mungkin disebabkan oleh bidang tersebut ataupun mereka tidak nampak pendapatan yang akan diperolehi. Jadi kalau ada inisiatif ataupun kita wujudkan pelbagai usaha untuk nak jadikan sektor ini menjadi minat kepada golongan-golongan belia selain dari kita untuk nak menjanakan ekonomi negeri ianya akan memberi

satu peluang untuk kita nak menyelesaikan masalah dari segi peluang pekerjaan kepada golongan-golongan baru ini. Kerana kita sebenarnya melalui Kementerian Pertanian sama ada peringkat Pusat ataupun Negeri telah sebenarnya banyak mengenalpasti projek-projek yang berimpak tinggi yang boleh kita kategorikan di bawah Program Sumber Kekayaan Baru ini kerana hari ini ada beberapa produk yang kalau kita buat dengan cara yang sistematik, rupanya produk-produk ini boleh memberi pulangan pendapatan yang sangat tinggi kepada mereka yang menceburi bidang ini. Cuma mengikut pengalaman kita, yang mana ada sesetengah daripada kalangan belia-belia ini mungkin mereka telah ada sedikit ilmu ataupun mungkin mereka sudah ada minat untuk menceburi bidang ini tetapi melalui tabung-tabung yang boleh membantu sumber kewangan mereka iaitu contohnya TEKUN, Agrobank ataupun di bawah Exco Usahawan Dan Koperasi iaitu Tabung Usahawan sebenarnya tidak menjadi satu tabung yang berfokus untuk membantu sektor pertanian ini. Jadi saya mencadangkan untuk mengatasi masalah sumber modal awal kepada golongan belia untuk menceburi sektor pertanian ini adalah baik untuk kita mewujudkan satu tabung khas yang berlainan dengan tabung yang diwujudkan oleh usahawan tadi iaitu tabung untuk golongan petani sahaja. Jika kita tengok contohnya pada bulan puasa baru-baru ini lada solok harganya sampai RM17 satu kilo dan kita tengok banyak hari ini sesetengah produk-produk pertanian yang kalau boleh kita atur pengeluarannya mengikut musim-musim tertentu rupanya memang harganya tinggi dan pendapatannya sangat lumayan. Jadi dengan sebab itu, saya rasa ini adalah merupakan salah satu usaha yang boleh diteruskan oleh Kerajaan di bawah Program SKB untuk kita nak supaya golongan-golongan muda ini, golongan-golongan belia ini menceburkan diri dalam sektor pertanian.

Dan saya sebenarnya tidaklah berhasrat untuk nak bercakap kerana Kerajaan hari ini baru dua bulan sahaja yang diberi peluang untuk menerajui negeri maknanya tak ada banyak isu lagi tetapi kita lihat semasa kempen pilihan raya agak banyak janji yang telah dibuat dalam manifesto. Manifesto ini adalah merupakan janji kepada rakyat dan kita harapkan supaya demi untuk kepentingan rakyat, janji-janji ini diharapkan dapat ditunaikan. Kita tidak nak sebagaimana pantun dua kerat orang-orang tua dahulu, Siakap Senohong….. Senohong ni ikan ke dok Yang Dipertua? Ikan ke? Ada orang kata ikan.

Yang di-Pertua

Kumpulan dialah tu.

Siakap, Senohong, Gelama, Ikan Duri, Bercakap bohong lama-lama jadi ….. Tapi ada juga dalam siber orang duk bercakap ‘Siakap, Senohong, Gelama, Ikan Duri. Bercakap bohong lama-lama jadi menteri’. Ada juga ….(sambil gelak)….

Kebetulan jatuh belaka dah hak tu.

Saya tidak bermaksudlah kepada siapa-siapa, cuma saya harapkan supaya kerana manifesto ini adalah merupakan satu janji dan menjadi harapan rakyat supaya ianya dapat ditunaikan untuk kita usahakan sedaya upaya kita demi untuk kepentingan rakyat. Dan di bawah peneraju kita Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kebetulan nama Ahmad ni menjadi Menteri Besar. Ahmad Said, Ahmad Razif dan kini Dr. Ahmad Samsuri, rupanya bertuah nama Ahmad ni. Dan kita doakan supaya di bawah teraju Yang Amat Berhormat Dr. Ahmad Samsuri selaku Menteri Besar yang berslogankan: ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’ dapat memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Negeri Terengganu dan juga hak-hak Negeri Terengganu dapat terpelihara. Jadi saya ingat itu sahaja Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua. Saya daripada Jertih mohon menyokong Ucapan Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan semalam. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Wa’alaikumussalam. Terima kasih wakil daripada Jertih. InsyaAllah, kita sama-sama tengok semua parti-parti yang menang yang mengemukakan manifesto masing-masing itu menunaikan janji masing-masing, insyaAllah. Saya persilakan lagi? Sila Wakil Batu Rakit.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Exco, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kerajaan, para Pemerhati dan semua yang hadir.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ahli-ahli Exco di atas pelantikan dan saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk sama-sama membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Dalam Titah Ucapan itu merangkumi ada tiga perkara yang diperingatkan kepada kita semua. Pertama, meningkatkan tahap sosio ekonomi dan kemakmuran negeri. Yang kedua, mengurangkan kos bebanan sara hidup ke arah kesejahteraan rakyat. Dan yang ketiga, mengurangkan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada royalti minyak dan gas.

Dan dari sini, ketiga-tiga ini selari dengan Manifesto PAS yang hendak mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam masa empat tahun. Kita mengharapkan ini semua akan menjadi kenyataan tetapi dari mana, sektor mana, bahagian manakah untuk kita mewujudkan 20,000 pekerjaan ini. Sudah tentu kita perlu mewujudkan kerja-kerja baru, usaha-usaha baru untuk menampung peluang pekerjaan ini bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi dan mengurangkan beban kos sara hidup kepada rakyat.

Di samping itu juga saya nak mengingatkan sebagaimana sahabat saya kata tadi tentang manifesto, janji-janji yang telah dibuat semasa pilihan raya dan saya nak ingatkan kepada Kerajaan PAS yang telah berjanji bahawa: 1.

Setiap rakyat yang berumur 21 tahun ke atas mendapat 1 lot tanah.

2.

Mengecualikan Cukai Pintu Rumah Kediaman.

3.

Mengurniakan Pencen Rakyat setiap bulan.

4.

Menambahkan keluasan Tanah Rezab Melayu daripada 118 hektar kepada 1,000 hektar.

5.

Mengadakan Tabung Biasiswa kepada pelajar cemerlang RM5 juta setahun. Cuma apakah perbezaan yang ada sekarang ini iaitu Biasiswa Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Inilah di antara sebahagian daripada janji-janji manifesto semasa pilihan raya. Dan dalam soalan saya pada hari ini yang tidak sempat dijawab yang mengenai Dana Raya. Kerajaan terdahulu memberi Dana Raya sebanyak RM300 dan RM400 tetapi Kerajaan sekarang memberi RM250 dan tujuannya ialah untuk lebih ramai rakyat yang akan dapat. Tetapi berapa ramaikah jumlah rakyat yang menerima Dana Raya ini?

Dan saya juga mengambil kesempatan ini untuk berbalik ke DUN Batu Rakit kot-kot orang dah terlupa soal hakisan ini. Saya berharap Kerajaan yang baru ini dapat menguruskan untuk mengatasi masalah hakisan di Batu Rakit ini sepanjang pantai di Batu Rakit ini sebab saya tengok di akhir-akhir ini tidak ada kerja-kerja yang telah dilaksanakan dan dihentikan. Selain daripada itu, dalam perancangan kita dulu yang sudah sampai ke tahap perbincangan terakhir iaitu Pembinaan Masjid Mengabang Lekor. Yang kedua, Pembinaan Masjid Padang Kemunting. Dan yang ketiga, Baik Pulih Masjid Maras. Ketiga-tiga masjid ini sangat uzurlah. Kita sudah melaksanakan di peringkat perbincangan terakhir dan saya berharap Kerajaan yang baru ini dapat meluluskan usaha yang telah kita laksanakan dahulu.

Saya ingat setakat dulu. Terima kasih. Batu Rakit mohon menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakil Batu Rakit. Sila Ketua Pembangkang, kita takut tak sempat esok. Sila Seberang Takir.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, wakil-wakil jabatan, rakan-rakan media, para Pemerhati, tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian Pertamanya, saya nak mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan di atas pelantikan beliau. Dan juga tahniah kepada Kerajaan baharu kerana telah diberi mandat oleh rakyat terutama Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Dan saya juga nak mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada rakan-rakan saya tadi kerana saya melihat sepanjang perbahasan ini nampaknya bahawa dalam politik matang yang kita mulakan sebelum ini nampaknya diteruskan dan nampaknya semakin erat dan kita berharap bahawa hubungan yang sebegini akan dapat kita teruskan demi kita nak menjamin kepada kepentingan dan juga kepada kebajikan rakyat yang perlu kita utamakan. Soal sekarang ini apa yang perlu kita buat kita di pihak Pembangkang sudah pasti tidak boleh membangkang sembrono tetapi kita akan pastikan bahawa kita akan membangkang berasaskan kepada fakta dan juga kita menjadi sebagai penasihat dan juga untuk kita dapat bersama-samalah untuk kita nak bangunkan Negeri Terengganu Darul Iman yang kita cintai ini.

Yang Berhormat Yang Dipertua, sudah pasti saya 10 orang ini dan juga rakan-rakan saya yang lain yang sebelum ini merupakan Kerajaan yang duduk di sebelah sana tetapi hari ini kena duduk di sebelah sini ni jadi kekok sedikitlah sebab dulu tulis tangan kanan, ni nak tulis tangan kiri. Jadi sudah pastilah bahawa sedikit sebanyak kita akan memastikan penyesuaian itu akan kita dapat laksanakan dengan sebaik-baiknya. Dan yang paling penting adalah kita akan dapat menjalankan tugas dan kerja kita dengan sebaik-baiknya. Tetapi yang utama di sini, saya berharaplah Kerajaan yang baharu di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan terus melaksanakan segala apa perancangan yang telah dibuat oleh Kerajaan sebelum ini. Saya nak ucapkan terima kasih dan tahniah sebab saya melihat bahawa apa yang telah kita laksanakan sebelum ini banyak diteruskan dan sudah pasti bahawa apa yang

telah kita rancang sebelum ini adalah memang baik dan demi untuk kepentingan rakyat. Sudah pasti bahawa sikap bekerjasama seperti ini perlu kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya dan kalau ada perkara-perkara yang boleh pihak kami bantu, insyaAllah kita akan bantu kerana kami menerima dengan hati yang terbuka dan kami berpendirian bahawa segala apa yang berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala.

Memanglah kami akui bahawa keadaan yang kami hadapi sekarang ini adalah satu keadaan yang baharu kerana bukan mudah kepada pihak Pembangkang di sebelah sini walaupun kami sebelum ini dalam tahun 1999 pernah menjadi Pembangkang tetapi situasinya sangat berbeza kerana Kerajaan Negeri orang lain, Pembangkang orang lain, Kerajaan Pusat pun orang lain. Jadi keutamaan kami 10 orang ini sebagai Pembangkang yang ada ialah untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat khasnya di kawasan DUN masing-masing. Yang pasti kami akan berusaha menjadi Pembangkang yang berkesan dan Pembangkang yang matang.

Yang Berhormat Yang Dipertua, saya ingin merafak sembah, menjunjung kasih atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan. Titah Ucapan tersebut sangat baik yang boleh kita jadikan panduan agar semua pihak dapat bersama-sama membangunkan rakyat dan Negeri Terengganu. Terdapat banyak cerita kejayaan Negeri Terengganu dalam Titah Ucapan tersebut. Salah satu yang menarik perhatian saya yang disebut oleh Wakil Kuala Besut tadi ialah tentang kadar pertumbuhan atau KDNK Negeri Terengganu yang melonjak begitu tinggi daripada kadar 3.1% pada tahun 2016 kepada 5.9% dalam tahun 2017. Hal ini tertera dalam muka surat empat teks Titah Ucapan tersebut. Lonjakan ini sudah pasti sangat menakjubkan kerana yang pertama kadar pertumbuhan ini sama dengan kadar pertumbuhan yang tinggi di peringkat nasional. Dan yang kedua, kadar ini melonjak dengan mendadak. Saya masih ingat lagi apabila dalam beberapa Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, Kerajaan Negeri pada ketika itu ditegur oleh pihak Pembangkang yang sekarang dah jadi Kerajaan ini kerana pertumbuhan ekonomi ketika itu hanyalah sekitar 3.1%. Jadi, maka di kesempatan ini saya nak merakamkan ucapan terima kasih kepada Pembangkang yang kini menjadi Kerajaan kerana sudah pasti melalui teguran yang telah dibuat dahulu kita berjaya tingkatkan kadar KDNK kita dengan cukup hebat iaitu 5.9% dalam tahun 2017. Ia juga adalah kejayaan yang hebat bukan hanya terhasil daripada kepimpinan tetapi sudah pasti di atas kerja kuat dan kebijaksanaan para pegawai dan kakitangan awam kita khasnya baik di peringkat Kerajaan Negeri mahupun di peringkat Kerajaan Pusat. Jadi saya bagi pihak diri saya dan juga rakan-rakan saya yang lain dan juga kepimpinan yang dahulu nak mengambil peluang dan kesempatan ini untuk merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada semua pegawai yang telah bertungkus lumus dan bekerja dengan begitu kuat sekali sehingga kita dapat mencipta kejayaan yang telah saya sebut tadi. Jadi dengan ini membuktikan bahawa dengan kerjasama yang begitu baik, dengan kerjasama yang erat yang

sebegini siapa sangka daripada 3.1% itu kita boleh melonjak sampai 5.9%. Saya berharap dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana Kerajaan Negeri terdahulu kita target, kita memang menjangkakan dan kita sedang menuju pada tahun 2020 untuk kita mencapai KDNK kita 8.0%. Dan insyaAllah, saya yakin dan percaya kalau kita terus dapat bekerjasama dengan sebegini dengan kerja kuat daripada pegawai-pegawai, saya yakin dan percaya tidak mustahil 2020 kita boleh mencapai KDNK sebanyak 8.0%. Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, saya sendiri sebenarnya terkejut dengan angka ini dan tertanya-tanya apakah punca kenaikan yang cukup hebat ini? Jadi apabila saya semak, saya selidik barulah saya tahu bahawa kenaikan dalam sektor-sektor ini adalah dari sektor perkhidmatan, pembinaan dan juga pertanian. Dan kalau dilihat dengan lebih detail lagi melalui siaran kenyataan dalam Laman Jabatan Statistik Malaysia ataupun DOSM ada disebut begini dengan izin: “Sektor pembinaan melonjak kepada 38.7%, 2016 – 2.0% disumbangkan oleh subsektor Kejuruteraan Awam dan Bangunan Kediaman.” Jadi ini jelas menunjukkan untuk kita nak meningkatkan dari segi KDNK kita yang lepas adalah berasas kepada peningkatan kemudahan perumahan untuk rakyat yang ternyata berjaya sehingga bukan sahaja rakyat yang memerlukan mendapat rumah kediaman, ekonomi kita juga dapat dijanakan dengan pelaburan hasil daripada pelaburan sektor awam ini. Dan kalau dilihat daripada peningkatan mendadak dalam sektor-sektor perkhidmatan dan pertanian juga ia sedikit sebanyak menunjukkan usaha kita yang terdahulu untuk menangani Agenda 3P iaitu untuk menangani kos peningkatan sara hidup, kos menangani masalah pekerjaan dan perumahan ternyata membuahkan hasil. Justeru di kesempatan ini sekali lagi saya nak ucapkan tahniah dan syabas kepada semua penjawat awam khasnya yang telah melaksanakan dasar-dasar Kerajaan dengan cukup baik. Jadi saya juga nak menyeru kepada Yang Amat Berhormat dan juga di pihak Kerajaan agar dapat meneruskan perancangan yang telah dibuat sebelum ini iaitu meneruskan Agenda Menangani 3P ini. Saya yakin dan percaya 3P ini adalah agenda untuk rakyat bukannya untuk agenda politik.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, di kesempatan ini juga saya ingin memohon kepada Kerajaan Negeri yang baharu untuk meneruskan kerja-kerja baik untuk rakyat yang telah dilaksanakan dahulu khasnya dalam bidang pendidikan kerana Negeri Terengganu mencatatkan begitu banyak kejayaan dalam bidang pendidikan bukan sahaja dari sudut akademik malah juga dari kokurikulum. Jadi sepertimana yang saya sebut pagi tadi berkait dengan soalan saya tentang kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut dan banyak lagi perkara-perkara yang telah mengharumkan nama negeri dan negara kita. Jadi di kesempatan ini juga saya nak mengucapkan tahniah kepada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, kepada semua pegawai-pegawai (PPD) juga

syabas kepada guru-guru, ibu bapa, murid-murid dan semua yang terlibat termasuk Kerajaan Negeri. Saya berharap bantuan dan juga insentif akan diteruskan demi menjamin kecemerlangan dan kegemilangan anak-anak kita di masa akan datang. Dan saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Wakil Paka selaku Exco yang telah menyatakan pada hari Khamis ini bahawa akan dipanggil anak-anak daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut yang telah mengharumkan nama negara dan negeri kita sewaktu pertandingan di Korea Selatan baru-baru ini.

Saya juga ingin menyatakan bahawa kami di pihak Pembangkang bersedia bekerjasama dengan Kerajaan yang baharu dalam melaksanakan kerja-kerja yang baik untuk rakyat. Sepanjang 5 tahun ini biarlah rakyat melihat kesatuan daripada kita semua dari segi melakukan amal ma’ruf nahi mungkar sehingga manfaatnya dirasai dan terima oleh rakyat. Kalau kita terlalu banyak berpolitik ianya akan meletihkan dan membazir masa, wang, tenaga dan emosi. Jadi sekali lagi saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat dan juga daripada Kerajaan yang saya melihat mengambil langkah yang berhati-hati tidak sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1999 dan apa sahaja saya nampak tindakan-tindakan yang diambil nampaknya begitu berhalus dan juga nampak tidak menganiayakan kepada sesiapa. Jadi saya ucapkan tahniah, terima kasih dan saya mohon kepada Kerajaan Negeri akan dapat mempraktikkan dengan cara yang sama supaya jangan nanti ada pihak yang akan menjadi mangsa sedangkan mereka ini sebenarnya berasaskan kepada dengan izin ‘Government of the Day’, mereka bekerja atas asas sebagai taat kepada Kerajaan dan apabila bertukarnya Kerajaan sudah pasti ketaatan mereka akan berubah kepada Kerajaan yang baharu. Jadi kerana itu saya pohon supaya apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak Kerajaan perlu melihat dan perlu memastikan bahawa tiada siapa yang teraniaya, tiada siapa yang diambil tindakan tanpa ada usul periksa dan tanpa ada apa-apa siasatan yang terperinci yang perlu dilaksanakan.

Saya berharap Negeri Terengganu akan boleh menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain dalam pelaksanaan di antara pihak Pembangkang dengan Kerajaan dalam kita memberi sokongan dan juga bekerjasama kerana apa yang kita laksanakan ini adalah demi untuk kebaikan untuk negeri dan juga untuk rakyat kita semua.

Jadi saya juga nak mengambil kesempatan pada hari nak mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pegawai-pegawai sewaktu saya sebagai Menteri Besar dan juga sebagai Kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan saya yang lain, saya nak mengambil peluang dan kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas kerjasama, bantuan dan kerja keras tuan-tuan dan puan-puan sekalian sehingga Kerajaan Negeri sampai

ke tahap sebegini. Maka berilah sokongan yang padu kepada Kerajaan yang baharu ini sepertimana yang diberikan kepada kami sebelum ini supaya apa yang penting hari ini adalah kita nak melihat Negeri Terengganu kita ini akan maju, akan sejahtera dan akan memastikan bahawa untuk kita nak mencapai Negeri Terengganu sebagai negeri maju menjelang 2020 ataupun dalam dua atau tiga tahun selepas ini.

Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua dan saya mohon menyokong Usul Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan. Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakil Seberang Takir dan juga selaku Ketua Pembangkang di atas perbahasan ke atas usul tadi. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang saya tangguhkan Persidangan Dewan ini sehingga esok hari, Rabu, 4 Julai 2018 jam 9.30 pagi. Sebelum kita tangguh, marilah kita sama-sama membaca Tasbih Kafarah dan Suratul A’sr. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.45 PETANG.