Terengganu · 2 April 2019
14th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 168 turns · 24,958 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum kita memulakan Persidangan Dewan pada pagi ini marilah sama-sama kita membaca Ummul Quran, bagi memberkati majlis kita. Al-Fatihah. [Al Fatihah dibaca].
Ucapan Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, para Pemerhati, tuan-tuan dan puan yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan taufik dan inayahNya kita masih dipanjangkan umur dapat bersama lagi dalam Persidangan pada penggal baru ini.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini bagi merafak sembah dan menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah mencemar duli bagi merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas pada hari semalam.
Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana negeri kita diberi keamanan dan Kerajaan terus komited berusaha melaksanakan segala janji kepada rakyat dan melaksanakan reformasi untuk meningkatkan proses penyampaian. Apa yang penting, semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah rakan kongsi Kerajaan dan harus bekerjasama bagi menjadikan negeri ini Maju, Berkat, Sejahtera.
Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Hajah Zuraida Md. Noor sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita pertama yang dilantik pada hujung Persidangan yang lepas. Ini merupakan suatu pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada golongan wanita. Saya berharap kehadiran Yang Berhormat dapat memperkasakan isu-isu pembangunan wanita dan keluarga secara keseluruhan meliputi aspek politik, ekonomi, sosial dan budaya. Dengan pelantikan ini, kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu sekarang bertambah dari 32 kepada 33 kerusi.
Namun begitu, selaras dengan hasrat Kerajaan Baru Persekutuan yang selalu bercakap soal reformasi, termasuk Reformasi Institusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah sampai masanya Negeri Terengganu mempunyai lebih banyak kerusi sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen dalam suasana bilangan pengundi yang bertambah berlipat kali ganda. Untuk pengetahuan Ahli Yang Berhormat, sejak tahun 1984 sudah tiga kali berlaku semakan Persempadanan Kawasan Pilihan Raya oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya, tetapi Negeri Terengganu masih tidak menerima sebarang pertambahan kerusi baru.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pada 21 hingga 23 Februari yang lepas, Pejabat Dewan Undangan Negeri menganjurkan Program Retreat Pemantapan Dewan Undangan Negeri yang dihadiri oleh sebahagian besar Ahli-ahli Yang Berhormat selain dari pegawai dan kakitangan Pejabat Dewan Undangan Negeri. Sebagai komitmen bersama kita telah bersetuju menjadikan Visi Dewan Undangan Negeri Terengganu sebagai Dewan Undangan Negeri Terbilang di Malaysia. Dan sudah tentu antara Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Index) untuk mencapai visi ini ialah penglibatan secara menyeluruh Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dalam setiap kali Persidangan dan mutu perbahasan yang semakin meningkat dengan idea-idea yang bernas untuk kepentingan rakyat.
Oleh itu bagi meningkatkan kualiti perbahasan dan melancarkan perjalanan Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu telah mengambil langkah proaktif sejajar dengan perkembangan Industri 4.0 yang memanfaatkan kemudahan digital. Sehubungan itu, buat pertama kalinya pada Sidang kali ini, setiap Ahli-ahli Yang Berhormat disediakan dengan sebuah laptop di atas meja masing-masing. Hasil lawatan saya ke Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat Negeri, dulunya Unit Pengurusan Maklumat Negeri, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri yang bersetuju menyediakan laptop kepada Ahli-ahli Yang Berhormat melalui jabatan ini bagi tujuan untuk meningkatkan kecekapan capaian maklumat dan meminimumkan penggunaan kertas (paperless). Ahli-ahli Yang Berhormat boleh memanfaatkan maklumat asas yang disediakan termasuk Kertas-kertas Laporan, hansard yang lalu, bahkan Peraturan Dewan selain dari maklumat lain yang boleh dicari dengan kemudahan wifi yang disediakan. Namun begitu, sebab saya dengar ada suara-suara yang bercakap, saya pohon maaf kepada Ahli Yang Berhormat semua bahawa laptop yang dibekalkan ini hanya untuk kegunaan sewaktu Persidangan sahaja, bukan untuk dibawa balik. Sebab laptop ini akan digunakan semula oleh pihak Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat selepas Persidangan Dewan.
Bagi meningkatkan prestasi semua Ahli-ahli Yang Berhormat berbahas di dalam Dewan yang mulia ini dan mencapai Visi Dewan Undangan Negeri Terengganu sebagai Dewan Undangan Negeri terbilang di Malaysia, saya telah mengadakan lawatan kerja ke Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) pada bulan lalu. Hasil lawatan tersebut, pihak TSIS telah menzahirkan kesediaan dan akan memberi kerjasama untuk membantu mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang ingin mendapat khidmat rujukan bahan-bahan dan maklumat penyelidikan sebagai persiapan setiap kali Sidang Dewan. Oleh itu, saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Terengganu Strategic and Institute (TSIS) di atas kesungguhan untuk menyokong visi dan misi Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam mendokong demokrasi untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pada Persidangan yang lepas kita telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Terpilih (Select Committee) Pengurusan Dewan yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Jawatankuasa ini telah mengadakan dua kali mesyuarat dan akan membentangkan laporannya dalam Sidang yang akan datang, insya-Allah. Saya berharap dengan penubuhan dan perjalanan Jawatankuasa Terpilih ini dapat memantapkan proses semak dan imbang dalam Kerajaan.
Selain itu, sebagai Pelan Pemantapan Dewan Undangan Negeri Terengganu juga, saya ingin memaklumkan bahawa Jadual atau Takwim Persidangan untuk tempoh setahun telah ditetapkan lebih awal. Ini termasuk Sidang Dewan Undangan Negeri akan datang iaitu pada 15 hingga 16 Julai dan Sidang Belanjawan pada 24 hingga 28 November 2019. Pengumuman takwim bagi tempoh setahun ini diharap dapat membantu dan memudahkan semua pihak termasuklah Ahli-ahli Yang Berhormat semua untuk membuat persiapan dan perancangan lebih awal. Pendekatan ini telah lama sebenarnya diamalkan di Parlimen Malaysia.
Saya juga ingin mengingatkan agar Ahli-ahli Yang Berhormat lebih teliti dan cermat dalam mengemukakan soalan-soalan sama ada Soalan Lisan atau Bertulis. Saya harap Ahli-ahli Yang Berhormat semua merangka soalan-soalan tersebut dengan berpandukan Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan (Standing Rules And Orders) iaitu buku merah yang telah dibekalkan kepada Ahli Yang Berhormat sebelum ini. Ini adalah untuk mengelakkan supaya soalan-soalan yang dikemukakan tidak mudah ditolak. Ahli-ahli Yang Berhormat boleh merujuk kepada perkara 26, ceraian 1 hingga 11 dengan pecahan-pecahannya. Sebagai contoh, soalan-soalan yang terlalu panjang lebar, hal-hal yang berkaitan dengan bidang kuasa Persekutuan yang memerlukan rujukan lebih lanjut dan mendalam, soalan yang berbentuk anggapan dan tohmahan, dan soalan yang telah dijawab dengan jelas sebelum ini dalam tempoh waktu terdekat seharusnya perlu dielakkan dan boleh ditolak. Kita harus mengambil berat tentang perkara ini kerana ia merupakan satu aspek penting dalam Institusi Legislatif.
Ahli Yang Berhormat sekalian, pihak DUN sedang berusaha menyiapkan Buku Khas Dewan Undangan Negeri Terengganu termasuk dari segi sejarahnya. Sebagaimana yang kita sama-sama bergambar dengan Tuanku Al-Sultan kelmarin. Untuk tujuan ini saya mohon kerjasama semua Ahli Yang Berhomat untuk menghadiri sesi bergambar pada hari ini dalam pakaian Lounge Suit sebaik sahaja Dewan ditangguhkan untuk berehat dan minum pagi.
Saya doakan Sidang Dewan Undangan Negeri kita, sepanjang Persidangan kali ini akan berjalan dalam keadaan tenang lancar dan penuh kematangan dengan kerjasama semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Marilah sama-sama kita jadikan sebagai panduan apa yang dititahkan Tuanku Al-Sultan kelmarin iaitu sila rujuk muka surat 27, Buku Titah Ucapan Diraja iaitu Tuanku bertitah sepanjang Sidang ini berlangsung, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama.
Sebelum saya akhiri ucapan, saya juga ingin menjemput semua Ahli-ahli Yang Berhormat ke pertandingan menembak di Lapang Sasar Lembah Bidong pada hari akhir Persidangan, 4 April jam 2.30 petang, ini adalah bertujuan merapatkan hubungan sesama Ahli Yang Berhormat selepas kita penat bersidang.
Dan akhirnya tidak lupa juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Pembangkang baru, tak berapa sedap nak sebut Ketua Pembangkang sekarang ini iaitu Yang Berhormatg Dato’ Seri Ahmad Said, ADUN Kijal, orang lama tapi masih segar dan bergaya.
Sekian, Selamat Bersidang. Seeru ‘ala barakatillah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Kertas-kertas Kerja Dan Laporan-laporan yang dibentangkan ialah:
1.
Penyata Tahunan 2017 Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil.1/2019)
2.
Laporan Tahunan 2017 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil.2/2019)
3.
Laporan Tahunan & Penyata Kewangan Tahun 2017 Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil.3/2019)
4.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil.4/2019)
5.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Pengurusan Aktiviti Jabatan/Agensi Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Siri 2.
(D.U.N. Bil.5/2019)
6.
Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri Terengganu Berkaitan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Kuala Terengganu dan Amphicoach. (Edaran atas meja).
(D.U.N. Bil.6/2019)
Soalan-Soalan BertulisQuestions
[LAMPIRAN]
Jawapan-jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis yang telah diberi notis dan dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1.
Y.B. Haji Hishamuddin bin Abdul Karim
(Wakil Tepoh)
2.
Y.B. Muhammad Khalil bin Abdul Hadi
(Wakil Batu Buruk)
3.
Y.B. Haji Nawi bin Mohamad
(Wakil Hulu Besut)
4.
Y.B. Haji Wan Hapandi bin Wan Nik
(Wakil Sura)
5.
Y.B. Haji Roslee bin Daud
(Wakil Bukit Besi)
6.
Y.B. Haji Ridzuan bin Hashim
(Wakil Buluh Gading)
7.
Y.B. Haji Hilmi bin Harun
(Wakil Manir)
8.
Y.B. Haji Alias bin Harun
(Wakil Rantau Abang)
9.
Y.B. Ir. Saiful Azmi bin Suhaili
(Wakil Kemasik)
10.
Y.B. Hajah Zuraida binti Md. Noor
(Wakil Wanita)
Soalan-Soalan LisanQuestions
Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah ahli-ahli yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini, 2 April 2019 iaitu daripada:
1.
Y.B. Haji Hishamuddin bin Abdul Karim
(Wakil Tepoh)
2.
Y.B. Muhammad Khalil bin Abdul Hadi
(Wakil Batu Buruk)
3.
Y.B. Dato’ Haji Rozi bin Haji Mamat
(Wakil Telemong)
4.
Y.B. Haji Wan Hapandi bin Wan Nik
(Wakil Sura)
5.
Y.B. Haji Nawi bin Mohamad
(Wakil Hulu Besut)
6.
Y.B. Haji Ridzuan bin Hashim
(Wakil Buluh Gading)
7.
Y.B. Haji Roslee bin Daud
(Wakil Bukit Besi)
8.
Y.B. Haji Hilmi bin Harun
(Wakil Manir)
9.
Y.B. Dato’ Haji Mohamad Pehimi bin Yusof
(Wakil Jertih)
10.
Y.B. Haji Alias bin Harun
(Wakil Rantau Abang)
11.
Y.B. Haji Bazlan bin Abd. Rahman
(Wakil Batu Rakit)
12.
Y.B. Sulaiman bin Sulong
(Wakil Pengkalan Berangan)
13.
Y.B. Tengku Zaihan bin Che Ku Abd. Rahman
(Wakil Kuala Besut)
14.
Y.B. Ahmad Shah bin Mohamed
(Wakil Bandar)
15.
Y.B. Ab. Razak bin Ibrahim
(Wakil Air Putih)
16.
Y.B. Haji Maliaman bin Kassim
(Wakil Ajil)
17.
Y.B. Ir. Saiful Azmi bin Suhaili
(Wakil Kemasik
18.
Y.B. Hajah Zuraida bin Md. Noor
(Wakil Wanita)
Sebelum saya teruskan dengan Soalan Lisan, saya hendak maklumkan juga sebagai perhatian Ahli-ahli Dewan iaitu antara Pemerhati yang turut sama dalam Persidangan kita pada kali ini iaitu:-
Khairunnisa (Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat) Pejabat ADUN Kemasik
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Petronas
Majlis Daerah Setiu
Majlis Tindakan DUN Sura
Majlis Tindakan DUN Batu Burok
Pusat Khidmat DUN Buluh Gading
Majlis Tindakan DUN Bukit Tunggal
Majlis Tindakan DUN Ladang
Majlis Tindakan DUN Cukai
Pejabat ADUN Jabi
Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Terengganu
Pusat Khidmat ADUN Ajil
Majlis Daerah Hulu Terengganu, dan
Pejabat ADUN Kota Putera
yang berjumlah kesemuanya seramai 201 orang.
Yang kedua, sebagaimana biasa soalan-soalan tambahan boleh dikemukakan, 2 soalan tambahan yang pertama akan kita berikan kepada tuan punya soalan yang asal dan kalau perlu 1 lagi soalan tambahan secara bebas. Ahli Yang Berhormat sekalian, saya persilakan Yang Berhormat Wakil Tepoh untuk mengemukakan soalan.
Tuan Yang di-Pertua, soalan saya yang pertama –
Sejauhmanakah perancangan pihak Kerajaan untuk memanfaatkan bas Amphicoach dalam industri pelancongan negeri?
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Tepoh, soalan yang pertama yang disoal: Sejauhmanakah perancangan pihak kerajaan untuk memanfaatkan bas Amphicoach dalam industri pelancongan negeri? Perancangan asal pihak Kerajaan Negeri bagi memanfaatkan bas Amphicoach dalam industri pelancongan negeri adalah menjadikan bas ini sebagai salah satu produk tarikan baharu dengan menawarkan perkhidmatan pakej menyelusuri Sungai Terengganu melalui jalan darat dan jalan air yang beroperasi di Taman Tamadun Islam.
Walau bagaimanapun, status terkini bas Amphicoach seumpama seorang pesakit yang dibawa ke hospital, sakit tenat dan pihak hospital kata buat baliklah, hendak mati sudah. Jadi, macam tidak boleh hendak berubat dah. Lalu pihak Kerajaan Negeri akan menolak projek ini kerana kontraktor tidak dapat mematuhi syarat-syarat, tidak dapat mematuhi terma kontrak selaras klausa 20(A) - Penamatan Penggajian Kontraktor.
Projek ini juga gagal mendapat kelulusan pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut Malaysia. Kita ada dengar yang last-last kenderaan ini hendak kereta ke, bas ke, hendak naik ikut udara pula, dah laut tidak boleh, darat tidak boleh. Dan saya ada terima pagi ini Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Dewan Undangan Negeri Keempat Belas juga mengesyorkan sebagaimana pengesyoran muka surat belakang itu, daripada JKR yang mengesyorkan supaya projek ini ditamatkan kerana sebagaimana yang saya sebutkan tadi. Begitu juga projek ini akan diserahkan kepada TTI, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TTI juga mengesyorkan supaya pihak kerajaan tidak serah kepada mereka. Begitu juga dengan Jabatan Pelancongan sendiripun tidak berhasrat untuk bercadang untuk menerima bas Amphicoach ini. Saya rasa Muzium mungkin terimalah bas ni. Wallahua’lam.
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama. Berapakah bayaran yang telah Kerajaan Negeri belanjakan untuk pembelian bas Amphicoach yang dimaksudkan ini?
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, bayaran yang sehingga kini iaitulah RM2,745,163.00 dan baki kontrak yang sepatutnya dibayar adalah RM336,350.00. Sekian.
Tuan Yang Dipertua, soalan terakhir saya, sebentar tadi dimaklumkan kehendak Jabatan Laut dan JPJ tidak dapat dipenuhi. Bolehkah Yang Berhormat dapat nyatakan, apakah kehendak Jabatan Laut, apakah kehendak JPJ sehingga menyebabkan kita tidak boleh memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut bagi melayakkan operasi bas Amphicoach?
Sebenarnya kehendak daripada JPJ ini yang pertama dari segi item dia, pengecopan nombor enjin dan nombor casis. Kehendak JPJ perlu mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan, Pembinaan dan Penggunaan 1959 kerana enjin dia itu memang padat yang susah untuk dicetaklah, nombor enjin dan juga nombor casis.
Kemudian yang kedua, Sijil Pematuhan Peraturan (UN) dan Laporan Ujian berikut kehendak JPJ nya perlu mematuhi ketetapan Vehicle Type Approval (VTA) semasa melibatkan peraturan UN yang dikuatkuasakan bagi kenderaan Kategori M3 serta mendapatkan pengesahan berkaitan pengubahsuaian yang dilakukan daripada pihak teknikal servis yang diiktiraf oleh Jabatan JPJ, ini berkait dengan pengubahsuaian. Kemudian kehendak Jabatan Laut, itemnya Proven Hull perlu disahkan sebagai kategori bas Proven Hull. Pembinaan bas ini perlu melalui class notation daripada pihak Llyod’s Register. Kedudukan Overboard Discharge perlu diletakkan lebih tinggi daripada maksimum paras air di bahagian kabin ataupun dibahagian deck.
Yang ketiga, ujian kesengetan, Healing Test. Perlu menjalani Ujian Kesengetan (Healing Test) bagi penetapan bilangan penumpang, susunatur semula kerusi perlu dibuat bagi memastikan agihan penumpang yang seimbang dan memudahkan pemindahan ketika kecemasan. Sebenarnya bas yang kita terima, bas MAN ini adalah bas biasa yang penumpangnya 42 orang dan apabila digunakan di dalam tasik ataupun sungai menyebabkan kalau penuh 40 orang itu, bila berlaku kesengetan, orang sebelah kiri perlu pergi ke kanan, kalau senget sebelah kiri yang sebaliknya kena pergi sana. Jadi bila penuh itu, memang sangat bahaya. Kesimpulan yang saya buat daripada kehendak JPJ dan Jabatan Laut adalah faktor keselamatan itu sendiri. Wallahua’lam.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, penjelasan. Saya ingin tahu apakah masalah teknikal yang sebenar yang berlaku kerana saya percaya bahawa bas ini bukan pertama di dunia dan saya pernah menaiki bas yang sama di Korea. Malah banyak negara-negara yang telah membeli dan daripada syarikat yang sama, tapi kenapa kejadian ini berlaku, saya tahu bahawa JPJ Malaysia memang agak kritikallah sebab dia tiada pengalaman pengurusan bas macam bas kita di Malaysia, kereta roda tiga tidak boleh berjalan, negeri lain boleh pakai. Sebab itu saya dulu pernah beli bas double-decker daripada Thailand, itupun susah hendak dapat kelulusan, masa itu Malaysia tiada lagi, lening baru ada bas double-decker di Malaysia. Sebab itu kita mintalah supaya JPJ melihat perkara ini dan saya hendak tahu apakah masalah kita sebenarnya dan sepatutnya Kerajaan Negeri berhubung dengan pihak pembuat untuk dapat kepastian kenapa ini berlaku. Adakah kerana kecuaian semasa percubaan operasi baru-baru ni?
Okey Sila Yang Berhormat.
Molek soalan ni bekas MB tanya. ....(Sambil gelak).... Takpe, apa ni jawab, bukan tanya. Jadi sekarang ni sebenarnya untuk makluman, semasa bekas Yang Amat Berhormat Menteri Besar test dulu sebenarnya bukan bas atau pun badan bas atau pun syarikat yang bas sampai tu. Sebenarnya bila sampai asalnya bas lain tiba-tiba yang sampai MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd. Yang lain sebenarnya sampai dan tidak melalui MAN Truck & Bus di (M) tapi dia direct daripada Jerman. Jadi pada 15.11.2018, pihak kontraktor mendapati berlaku masalah pada sistem suspension akibat daripada engine diagnose dan troubleshooting pada enjin ECU. Pada enjin ECU ni ketika pemeriksaan oleh pihak MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd.
Yang di-pertua, minta penjelasan sikit Yang di-Pertua, saya ingin kepastian mengikut jawapan yang diberikan oleh Ahli Exco tadi, iaitu kita order lain sampai yang lain. Maksud begitu?
Ya, ya. Memang asalnya hok lain hok gi tengok. Tiba-tiba sampai hok lain. Ni maklumat daripada JKR kepada saya.
Doh sebab apa pihak Kerajaan Negeri terima masa tu. Saya harap benda ni boleh bawa ke SPRM ni.
Dok terima lagi. Kita sampai sekarang dok terima lagi bas ni.
Okey saya ingat jelaslah. Saya ingat jelas. Saya nak jemput Wakil Sura untuk mengemukakan soalan.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan saya yang pertama -
Nyatakan status pembinaan Hospital Daerah Dungun sehingga kini?
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Exco dan Ahli-ahli Yang Berhormat Kerajaan dan juga pihak Pembangkang serta Pegawai-pegawai Kerajaan dikasihi sekalian. Terima kasih kepada Sura yang bertanyakan soalan nombor satu yang berbunyi: Nyatakan status pembinaan Hospital Dungun sehingga kini?
Hospital baharu Dungun sekarang sedang dalam pembinaan. Status sekarang, kemajuan fizikalnya 76.8% dan ini adalah mengikut jadual pelaksanaan projek. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama. Mengapakah berlakunya kelewatan terpaksa ditangguh sehingga 28 Ogos sedangkan tarikh siap yang telah ditetapkan ialah pada 22 Februari 2019 dan adakah dengan kelewatan ini pihak kontraktor dikenakan charge? Terima kasih.
Bagus ADUN Sura dia tahu lewat dok lewat. Saya dok royatpun. Kelewatan yang berlaku, sedikit kelewatanlah dan pihak kontraktor telah memohon untuk Melanjutkan Tempoh atau EOT (Extension of Time) sebenarnya kerana kelewatan persiapan tapak. Kerja Fasa 1(A) lewat atas kerja-kerja persiapan tapak. Maka dengan itu pihak kontraktor telah memohon untuk mendapat kelulusan Lanjutan Tempoh dan tempohnya sepertimana yang disebutkan tadi kita lulus untuk disambung sehingga 28 Ogos 2019 atas sebab: Pertama, kontraktor yang bina bangunan ini dia lambat masuk kerana tapak belum siap. Yang kedua, kerana kelewatan mendapat kelulusan merancang. Biasalah, lewat satu fasa, dia akan menyebabkan lewat pada fasa yang kedua. Oleh itu, dengan alasan yang munasabah itu, pihak JKR telah membenarkan untuk melanjutkan tempoh dan maka tidak ada apa-apa denda yang dikenakan ataupun LAD. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan yang kedua. Apakah perancangan Jabatan Kesihatan terhadap bangunan lama Hospital Dungun setelah hospital baru siap dan beroperasi? Terima kasih.
Terima kasih, untung orang Dungun ni. Jadi dia boleh dua hospital. Ini tambahanlah bukan ganti-ganti ni tambah. Hok baru ditambah dan hok lama dikekalkan dengan 100 katil cuma dikurangkan sikit dari segi skopnya. Apa yang dikekalkan ialah Bahagian Penjagaan Pesakit Kronik, Bahagian Rehabilitasi, Penyakit Berjangkit serta Pusat Bersalin Berisiko Rendah juga akan dikekalkan sebagai Unit Pesakit luar, akan dijadikan Klinik Kesihatan Bandar Dungun untuk fungsinya bagi manfaat kepada penduduk-penduduk di Daerah Dungun dan khususnya di Bandar Dungun itu sendiri. Terima kasih.
Sekarang saya jemput ADUN Hulu Besut.
Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, soalan saya soalan 1 -
Berapakah jumlah masjid yang mengadakan Solat Jumaat tetapi tidak mendapat kelulusan Kerajaan Negeri di seluruh Negeri Terengganu?
Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, Ketua-ketua Jabatan, Pemerhati, Soalan Lisan ADUN Hulu Besut: Berapakah jumlah masjid yang mengadakan solat Jumaat tetapi tidak mendapat kelulusan Kerajaan Negeri di seluruh Negeri Terengganu?
Jawapannya, jumlah masjid yang mengadakan Solat Jumaat tetapi tidak mendapat kelulusan Kerajaan Negeri di seluruh Negeri Terengganu adalah sebanyak tiga buah masjid.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya kemuka soalan ni kerana kawasan saya ada dua masjid yang tidak mendapat kebenaran. Semasa sebelum pilihan raya telah saya minta dengan Pejabat Agama untuk diberi kelulusan. Sesuai dengan keadaan semasa, mengapa harus ada tiga sepatutnya sudah tidak ada lagi kerana Konsep Penyatuan Ummah pada masa ini?
Soalan tambahan daripada Hulu Besut tu nampak macam ada dua. Ada dua. Jadi tak payah tambah dah kot. Dua dah. Soalan tambahan dia yang pertama, mengenai dua masjid yang beliau sebut di Besut. Setakat dalam makluman kami, tidak ada masjid yang menunaikan Solat Jumaat yang tidak mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri. Hanya melainkanlah yang dimaksudkan masjid oleh pihak Hulu Besut ialah surau. Wallahu Ta’ala a’lam. Jika itu diminta tambahan, saya boleh jawab kemudianlah.
Soalan tambahan yang kedua mengenai kenapa masih ada tiga masjid yang belum mendapat kelulusan Kerajaan Negeri bagi menunaikan Solat Jumaat. Insya-Allah ketiga-tiga masjid ini dalam proses oleh pihak Kerajaan untuk meluluskannya. Setelah diteliti bahawa tiga masjid ini sebenarnya telah lama ditubuhkan dan dibina dan Insya-Allah ia akan diselesaikan dalam tempoh yang terdekat. Terima kasih.
Sila.
Sekali lagi saya nak dapat pengesahanlah. Kerajaan menyatakan di Besut sudah tidak ada lagi. Maknanya kawasan saya itu ada dua lagi masjid yang dibuat Jumaat sebelum ni maknanya telah dibenarkan ataupun telah diberi kelulusan oleh kerajaan. Di kawasan saya tu ada satu di Keruak, yang kedua di Kampung Awek yang buat Sembahyang Jumaat. Maknanya kedua-dua tu telah mendapat kebenaran Kerajaan sebagaimana yang telah dijawab oleh Wakil Kerajaan tadi.
Terima kasih kepada Hulu Besut. Betul sebagaimana yang saya sangka apa yang dianggap oleh Hulu Besut sebagai masjid. Sebenarnya ia adalah berstatus surau. Surau yang mengadakan Solat Jumaat dan kesemua surau-surau itu telah mendapat persetujuan daripada pihak MAIDAM pada 21 April 2015 dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan kepada mereka. Selesai.
Okey ....
Saya ada soalan simple aje. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pihak Kerajaan ada menyatakan bahawa ada tiga buah masjid yang mengadakan Solat Jumaat yang tidak mendapat kelulusan Kerajaan Negeri. Boleh nyatakan dok masjid mana sebab kita tak mahu benda ni menjadi persepsi dan juga andaian. Masjid mana tu? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Yang di-Pertua, lima soalan tambahan dah ni.
Tak apa.
Tak apa? Takut orang lain kata dok adil pulok banyak ni.
Tiga masjid yang dimaksudkan adalah: Yang pertama, Masjid Lama Kampung Jabi, Besut yang telah dibina semenjak tahun 1950. Yang kedua, Masjid Lama Kampung Sura, Dungun yang telah dibina semenjak tahun 1917. Dan yang ketiga, Masjid Lama Kampung Tebing Tembah, Paka yang telah dibina sekitar tahun 1950. Ketiga-tiga masjid ini dalam proses permohonan dan akan mendapat kelulusan MAIDAM, insya-Allah.
Ya, terima kasih. Sekarang saya persilakan ADUN Buluh Gading.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor satu –
Apakah status terkini usaha dan perancangan pihak kerajaan dalam menubuhkan Sekolah Menengah Agama Darul Iman (SMIDI)?
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh, Yang Berhormat Yang di-Pertua, ADUN Buluh Gading bertanya: Apakah status terkini usaha dan perancangan pihak kerajaan dalam menubuhkan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI)? Manifesto PAS dalam pilihan raya PRU-14, antaranya adalah mewujudkan 32 Sekolah Rendah Islam berdasarkan 32 DUN dan juga lapan Sekolah Menengah Islam berdasarkan lapan Parlimen. Alhamdulillah pihak Kerajaan Negeri sudah berjaya mewujudkan enam Sekolah Rendah Islam di enam DUN dan kita merancang untuk mewujudkan Sekolah Menengah Islam pertama (SMIDI) pada awal tahun depan insya-Allah yang akan kita operasi di tapak KIST Kuala Berang.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama. Tadi disebutkan cadangan SMIDI yang dijangka beroperasi awal tahun 2020 ini ialah di tapak atau di KIST iaitu Kolej Islam Sains Terengganu, Kuala Berang. Jadi saya ingin tahu adakah bagi tujuan penempatan SMIDI ini, KIST perlu dibaik pulih dan sekiranya perlu dibaik pulih berapakah anggaran kos yang terpaksa Kerajaan tanggung bagi memungkinkan SMIDI dapat beroperasi? Terima kasih.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, hasrat kita memang untuk memanfaatkan bangunan yang sedia ada. Isu KIST ini macam Taman Ilmu jugaklah, Kerajaan telah mengeluarkan RM30 juta lebih untuk ambil tapak tersebut dan bangunan yang sedia ada terbiar sekarang. Hasil tinjauan dan lawatan kami, pihak JKR menyebut bahawa kos baiki lebih kurang RM10 juta. Saya tanya juga JKR dah kalau kita buat baru dekat lain guaner? RM10 juta gok dia kata. Jadi kalau kita tidak baiki juga bangunan ni sebab dia merupakan aset Tabung Warisan kita rasa punah saja jer, jadi rosak sedangkan ada bangunan empat tingkat yang baru belum diguna pun lagi. Jadi kita amik keputusan pihak Tabung Warisan akan baiki bangunan tersebut dan insya-Allah kita akan boleh beroperasilah, insya-Allah pada tahun depan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang kedua soalan saya ni ada dua pecahan. Yang pertama berkait dengan status sekolah ataupun SMIDI dan jugak guru di SMIDI itu nanti. Saya ingin tahu adakah kedudukan SMIDI ini akan diletakkan dalam kategori SABK seperti IMTIYAZ, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di mana para gurunya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan atau diletakkan di bawah kategori milik sepenuhnya Kerajaan Negeri. Pecahan yang kedua daripada soalan pertama yang kedua ni Tuan Yang di-Pertua berkait dengan kokurikulum. Adakah kurikulum yang bakal diguna nanti berasaskan Kurikulum Tamayyuz di mana subjek agama seperti Feqah, Sirah, Akhlak dan seumpamanya diajar dalam Bahasa Arab atau berasaskan kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Agama? Terima kasih.
Okey, Yang Berhormat.
Terima kasih pada Yang Berhormat, hasrat Kerajaan Negeri menubuhkan SMIDI ini antaranya adalah untuk memenuhi permintaan masyarakat yang terlalu tinggi dan kita hanya ada Sekolah Menengah Agama Negeri ada satu Sekolah Menengah Agama saja setiap daerah lebih kuranglah. Jadi kewujudan Sekolah Menengah Darul Iman ini (SMIDI) ini adalah antaranya untuk memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat.
Yang kedua, hasrat kita adalah untuk kesinambungan kepada SRIDI Sekolah Rendah Islam Darul Iman ini. Jadi SRIDI yang ada ini mereka menggunakan kurikulum Kementerian yang sedia ada ambil UPSR, dia ada ujian ambil UPSRi yang kurikulum berdasarkan agama di bawah bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan juga akan mengambil peperiksaan UPKK di bawah JAKIM, ketiga-tiga peperiksaan tersebut akan diambil oleh SRIDI dan selepas pada itu kesinambungan di peringkat sekolah menengah ini sama saja. Kita tidak akan menyerahkan di bawah SABK dia merupakan milik penuh Kerajaan Negeri dan SMIDI ini merupakan gabung jalin antara kurikulum standard sekolah menengah KSSM yang ada dan juga Kurikulum Agama Negeri yang akan menggabung jalinkan antara Tahfiz dan Qura’ tapi memberi penekanan kepada juga bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Arab. Insya-Allah kita akan mengambil pengambilan guru awal untuk mendapat latihan dan sebagainya sebagaimana persiapan yang kita adakan untuk mengambil SRIDI pada tahun lalu, insya-Allah. Terima kasih.
Saya jemput Wakil Bukit Besi.
Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Soalan saya nombor tiga -
Berapa ramaikah penduduk di Terengganu telah berjaya dikeluarkan dari status kemiskinan sejak tahun 2018 dan apakah usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan lebih ramai di kalangan mereka bebas daripada status kemiskinan?
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, soalan daripada Yang Berhormat Bukit Besi berbunyi: Berapa ramaikah penduduk di Terengganu telah berjaya dikeluarkan dari status kemiskinan sejak tahun 2018 dan apakah usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan lebih ramai kalangan mereka bebas daripada status kemiskinan?
Tuan Yang di-pertua, sehingga ini Sistem e-Kasih kendalian Jabatan Pembangunan Persekutuan yakni Jabatan Perdana Menteri tidak menyimpan rekod status kemiskinan terdahulu isi rumah untuk dibuat perbandingan sistem ini hanya menyimpan maklumat terkini isi rumah. Untuk makluman, tiada kes keluar daripada Sistem e-Kasih kerana setiap isi rumah yang berdaftar akan kekal berada di dalam Sistem e-Kasih. Di antara perkara-perkara atau langkah-langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani masalah kemiskinan ialah:-
Yang pertama, Program Perumahan Terengganu Sejahtera di mana setiap DUN dibekalkan, diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri di antara RM750,000.00 sehingga RM1 juta setahun bagi memastikan dan membaiki rumah-rumah di bawah Terengganu Sejahtera.
Yang kedua ialah pengagihan Bantuan Modal Perniagaan kepada asnaf di mana modal permulaan dalam bentuk wang atau peralatan yang sesuai. Yang kedua, khidmat nasihat bagi memantapkan lagi urusan perniagaan. Yang ketiga, Kursus Asas Lanjutan Keusahawanan agar peniaga memahami selok-belok perniagaan yang diusahakan. Dan yang keempat, modal pusingan agar para peniaga mampu terus bersaing di pasaran.
Yang ketiga ialah Program Bekalan Air Percuma. Sehingga ini rakyat Negeri Terengganu mendapat bekalan air daripada MAIDAM 2,118 orang, e-kasih 1,146 orang, PPRT 5,432 orang dan jumlah keseluruhannya ialah 8,696 orang. Antara pelaksanaannya juga ialah Program Bantuan Persekolahan kepada lebih kurang 125,169 orang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM12,516,900.00 dan juga bantuan daripada JKM. Sekian, terima kasih.
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Exco, soalan tambahan saya yang pertama. Kalau kita tengok memang Kerajaan dah telah banyak membantu rakyat untuk membebaskan rakyat Negeri Terengganu kita ni daripada paras kemiskinan. Jadi saya nak tahu apakah punca sebenar adakah sama ada rakyat kita ni kerana sikap dia, cara hidup dia ataupun apakah punca-punca lain yang menyebabkan masih lagi ada rakyat kita yang berada dalam paras kemiskinan. Jadi, saya nak tahu juga apakah sasaran Kerajaan Negeri dalam usaha nak menangani tahap kemiskinan dalam negeri? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, antara punca yang menyebabkan berlaku kemiskinan ialah yang pertamanya ianya bermula daripada persekolahan. Kebanyakan mereka yang gagal di peringkat persekolahan akhirnya tidak mendapat kerjaya yang baik dan antaranya juga ialah yang terlibat dengan gejala-gejala sosial seperti dadah dan seumpamanya. Dan bagi pihak Kerajaan Negeri di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga agensi-agensi lain sehingga kini berusaha bagi memastikan golongan-golongan sasar ini terkeluar daripada kemiskinan dengan beberapa perkara yang telah dinyatakan sama ada bantuan daripada MAIDAM ataupun daripada Yayasan Pembangunan Usahawan ataupun daripada Yayasan Pembangunan Keluarga bagi memastikan mereka diberi bantuan untuk meneruskan sama ada dari segi menjalankan perniagaan-perniagaan secara kecil-kecilan dan saya rasa ianya mengambil sedikit masa bagi memastikan mereka ini terkeluar daripada kemiskinan.
Terima kasih. Seterusnya saya jemput Wakil Manir. Ada soalan lagi, soalan tambahan? Okey.
Ada se lagilah.
Okey, saya beri. Sila, sila. Yang Berhormat slow jer bangun ni, tu yang saya nak beri ke orang lain tu. Kalau ada tak apa, sila, sila.
Sebab kita perpaduan ummah kan? Jadi kena berhemah sikit. ..... (Dewan gelak)..... Okey, soalan tambahan kedua saya. Biasanya kita kaitkan dengan nelayan ataupun petani dari segi tahap kemiskinan. Dan saya difahamkan bantuan kepada mereka telah dipotong oleh Kerajaan Pusat. Jika betul, tapi rasanya betul doh hok sebab di viral di mana-mana. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu golongan petani dan nelayan bagi Kerajaan Negeri Terengganu? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, memang Kerajaan Pusat, Kerajaan Pakatan Harapan hanya pandai berjanji tetapi adalah menipu dan kita bersama-sama akan runtuhkan Kerajaan Pakatan Harapan, boleh ke dok boleh? .... (Tepukan Sokongan) .... Bagi pihak Kerajaan Negeri kita sudah berbincang dan Exco Perikanan sendiri sedang membawa satu usul supaya suatu kebajikan atau satu peruntukan diperuntukan dan insya-Allah Kerajaan Negeri sedang menimbang untuk memberi sedikit bantuan kepada para nelayan. Terima kasih.
Okey, terima kasih. Seterusnya, saya menjemput Wakil Manir.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, soalan saya yang pertama -
Berapakah jumlah kutipan zakat bagi Negeri Terengganu untuk tahun 2017 dan 2018?
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, ADUN Manir bertanya: Berapakah jumlah kutipan zakat bagi Negeri Terengganu untuk tahun 2017 dan 2018?
Untuk makluman Sidang Dewan semua, jumlah kutipan zakat 2017 berjumlah RM130,949,523.03, ada lagi 3 sen ni ya. Dan jumlah kutipan zakat 2018, RM160,371,554.62. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama . Rakyat Negeri Terengganu ramai yang berada di luar Negeri Terengganu dan mempunyai perusahaan-perusahaan dan juga pekerjaan-pekerjaan masing-masing. Apakah pihak Kerajaan mempunyai satu mekanisme yang boleh menggalakkan mereka berzakat di Negeri Terengganu?
Yang Berhormat Yang di-Pertua, kalau kita tengok daripada jenis zakat yang dikutip dan memang ada peningkatan antaranya adalah Zakat Pendapatan. Walaupun kita sedia maklumlah Mazhab Shafie ni tidak ada Zakat Pendapatan. Tapi, secara keseluruhan kita memakai pendapat yang kita boleh keluarkan Zakat Pendapatan ini yang tahunya untuk kita kontra dengan Cukai Pendapatan. Tahun 2017, RM72 juta, tahun 2018, RM78 juta. Jadi biasanya, walaupun anak Terengganu contohnya seperti zakat di bulan Ramadan dan sebagainya mereka biasa membayar zakat itu di tempat mereka bekerja ataupun mereka mendapat sumber pendapatan tersebut kecualilah antaranya Zakat Simpanan dia ataupun Zakat Pendapatan dia. Memanglah digalakkan untuk seseorang itu membayar zakat di tempat dia mendapat sumber pendapatan ataupun tempat dia bekerja. Tapi, kat Malaysia kita ni boleh untuk dia bayar di negeri dia ataupun di kampung dia kepada Amil yang bertauliah dan sebagainya. Dan perkara ni insya-Allah kita galakkan paling kurang ia dapat membantu kawasan tempat dia sendiri. Perkara ini harap dapat kesedaranlah daripada masa ke semasa. Insya-Allah untuk membayar zakat ke Negeri Terengganu. Terima kasih.
Soalan tambahan saya yang kedua Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Berdasarkan Teks Ucapan Baginda Sultan pada muka surat 10, peningkatan zakat sebanyak pada tahun 2018 sebanyak RM22.42 juta berbanding dengan tahun 2017 adalah suatu angka yang besar. Jadi, apakah Kerajaan mengenalpasti apakah key factor peningkatan tersebut? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Antaranya kesedaran umat Islam hari ini. Kita rasakan masyarakat lebih bermaklumat dan mereka mempunyai kefahaman Islam yang lebih baik dan juga adanya sumber ekonomi dan pendapatan yang lebih selesa dan mereka orang panggil, berusaha untuk mengeluarkan zakat.
Yang kedua, pihak MAIDAM sendiri, pihak yang berwajib dan sebagai semua mengambil peranan, orang panggil turun padang untuk mempromosikan pembayar zakat dengan bank bergerak dan sebagainya, promosi brochure di masjid-masjid, secara online dan sebagainya dan kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk mereka ini membayar zakat dan faktor-faktor ini insya-Allah akan memudahkan kepada pembayar zakat-pembayar zakat dan secara langsung peningkatan kepada sumber zakat itu sendiri dan juga kepada syarikat-syarikatlah kesedaran-kesedaran khususnya syarikat-syarikat yang mereka mempunyai pendapatan yang besar untuk membayar zakat dan insya-Allah dia membersihkan sumber mereka dan juga insya-Allah akan menambahkan lagi keuntungan kepada perniagaan-perniagaan mereka. Terima kasih.
Seterusnya, saya jemput Wakil Jertih.
Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Soalan saya, soalan yang pertama -
Berapakah bilangan penerima Program Bantuan Dana Raya Kerajaan Negeri Terengganu untuk tahun 2018?
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang di-Pertua, ADUN Jertih bertanyakan berapakah bilangan penerima Program Bantuan Dana Raya Kerajaan Negeri Terengganu untuk tahun 2018?
Untuk makluman Yang Berhormat dan juga Sidang Dewan semua, jumlah keseluruhan penerima Bantuan Perayaan Aidilfitri 2018 ialah 279,822 orang. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama. Apakah kategori-kategori yang mendapat bantuan di bawah Program Dana Raya ini yang ada perbezaan dengan Kerajaan dahulu, maknanya kategori itu adakah kita kekalkan kategori yang sama ataupun ada penambahbaikan pada kategori yang baru? Terima kasih.
Memandangkan pilihan raya berlaku bulan Mei, selepas pada itu, Ramadan dan juga hari raya, kita pun ‘dok dang nak kilas kain mana ni’, jadi terus datang Program Bantuan Hari Raya ini. Jadi, pihak Kerajaan Negeri setakat ini meneruskan mereka yang mendapat Bantuan Hari Raya, antaranya mereka yang berpendapatan rendah dan miskin, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan juga ibu dan bapa tunggal. Tapi, dalam masa yang sama ada perubahan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri iaitu membuka kembali permohonan mereka-mereka yang terkilanlah. Jadi, ada peningkatan daripada angka yang terdahulu kerana adanya permohonan-permohonan baru yang dibuka balik oleh pihak Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Pinjam mikrofon sebelah.
Sila.
Okeylah soalan tambahan seterusnya. Adakah Dana Raya Tahun Baru Cina juga diberi sebagaimana biasa untuk tahun 2019 baru ini? Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, kita beri peruntukan seperti biasa untuk Program-Program Sambutan Hari Raya Cina dan cuma untuk maklumanlah Kerajaan Pusat sudah potong peruntukan royalti kita ini. Jadi, kita kena bincang balik pula untuk bantuan dana raya yang akan datang. Terima kasih.
Terima kasih. Seterusnya, saya jemput Wakil Rantau Abang untuk kemukakan soalan.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan. Soalan saya ialah soalan nombor satu –
Apakah usaha untuk membangunkan semula aktiviti pertanian di tapak Rimbunan Kaseh, Rantau Abang setelah pihak Kerajaan Pusat menyerahkan kepada Kerajaan Negeri?
Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih pada kekanda Yang Berhormat ADUN Rantau Abang yang mengajukan soalan berkaitan dengan usaha untuk membangunkan semula aktiviti pertanian di tapak Rimbunan Kasih, Rantau Abang setelah pihak Kerajaan Pusat menyerahkan kepada Kerajaan Negeri?
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya mohon sedikit ruang untuk makluman Dewan sedikit latar belakang Projek Rimbunan Kasih yang terletak di Rantau Abang di Dungun. Projek ini, projek di bawah ICU Jabatan Perdana Menteri dan tugas pelaksanaan dan pengurusan dipertanggungjawabkan kepada syarikat IRIS Corporation dibina di atas tanah Kerajaan Negeri seluas 57 ekar. Dan komponen utamanya ialah 100 buah rumah, 26 Green House SPH (Struktur Pelindung Hujan) dan ada 400 tangki untuk penternakan ikan. Mula beroperasi pada bulan Julai tahun 2015 dengan aktiviti ekonomi utamanya ialah penanaman golden melon, penternakan ikan dalam tangki dan juga penanaman limau kasturi. Setakat beroperasi, seramai 85 orang peserta telah dimasukkan atau lebih tepatnya sebenarnya 85 keluarga.
Aktiviti ekonomi berasaskan pertanian di Program Rimbunan Kasih telah berhenti sepenuhnya pada bulan April 2017 dan pihak IRIS sepatutnya menguruskan Program Rimbunan Kasih sehingga 14 Julai 2020 tetapi atas beberapa faktor terutamanya faktor kewangan pihak IRIS telah memohon dengan Kerajaan Negeri untuk proses penamatan awal. Program Rimbunan Kasih pada 31.12.2018 dan setelah melalui beberapa fasa perundingan dan perbincangan, akhirnya Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya Program Rimbunan Kasih ini ditamatkan pada tarikh yang diminta oleh IRIS dengan beberapa syarat. Di antara syaratnya ialah Kerajaan Negeri dan juga IRIS akan membuat pemeriksaan bersama. Segala aset yang ada di Rimbunan Kasih dan aset-aset ini mesti diserahkan kepada Kerajaan Negeri dalam keadaan sempurna. Kerosakan-kerosakan yang berlaku pada aset akan diperbaiki menggunakan wang jaminan projek daripada IRIS yang ada pada ICU tanpa melibatkan sebarang dana daripada Kerajaan Negeri dan insya-Allah proses pembaikiannya akan siap menjelang bulan Jun akan datang. Insya-Allah.
Habis fasa penyerahan dan sekarang ni, tanpa pihak Kerajaaan Negeri nak menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalan projek ini, kita memandang ke hadapan memandang kehadapan untuk mengambil alih pengurusan Program Rimbunan Kasih dan satu Jawatankuasa Khas Rimbunan Kasih telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri pada 5 Disember 2018. Fokus penyelesaian kita dua, yang pertama, isu 85 keluarga peserta yang menetap di rumah dalam kawasan Rimbunan Kasih. Kerajaan telah membuat keputusan kesemua 85 peserta yang sekarang ni menetap di rumah dalam Program Rimbunan Kasih ni akan terus diberikan kebenaran tinggal dan mereka tidak akan dikeluarkan kecuali mereka memilih untuk keluar. Dalam masa yang sama proses untuk memberikan hak milik kepada peserta ni dalam bentuk sewa beli sedang diuruskan oleh Kerajaan Negeri.
Berkaitan dengan isu kebajikan peserta Rimbunan Kasih setelah mereka tidak lagi diberikan gaji RM1,000 sebulan yang sebelum ni dibayar oleh IRIS Corporation, kita telah buat penyelarasan di antara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dan Kebajikan Masyarakat supaya isu ini dibawa ke Mesyuarat Focus Group Daerah Dungun dan khususnya bila membabitkan peserta yang tua dan yang muda.
Segmen yang ke dua yang kita bincang dari segi perancangan ialah bagaimana kita nak memajukan kembali 26 buah Green House dan 400 tangki ternakan ikan supaya dia boleh dimanfaatkan untuk aktiviti pertanian dan penternakan perikanan yang akhirnya akan memberikan pulangan ekonomi. Pada 2 Januari 2019 Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah menghantar surat tawaran kepada pihak LPP menawarkan kepada mereka untuk mengoperasikan infrastruktur pertanian yang ada dalam program Rimbunan Kasih ni dan awalnya telah disambut baik dan pihak LPP dalam rangka untuk menyiapkan kertas cadangan bagaimana pelan mereka untuk memajukan projek ini seterusnya. Terima kasih.
Soalan tambahan saya yang pertama. Peserta lama 85 keluarga dan masih menetap dan alhamdulillah ditawarkan untuk menetap di Rimbunan Kasih di rumah yang lama dengan perancangan untuk beri sewa beli. Soalan sayanya ialah apakah nasib 85 peserta untuk mendapat peluang pekerjaan dalam bidang pertanian yang bakal disediakan di Rimbunan Kasih? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Rantau Abang atas keperihatinan Yang Berhormat kepada rakyat Rantau Abang. 85 peserta yang masih ada di Program Rimbunan Kasih ni, kita telah maklumkan kepada mereka bahawa kita tak jamin kesemua mereka akan diambil bekerja dengan syarikat baru yang akan mengoperasikan Rimbunan Kasih yang pertama kerana bilangan mereka sebenarnya terlalu ramai 85 orang, dengan 26 Green House dan juga 400 tangki untuk ternakan ikan sebenarnya melebihi daripada kapisiti. Mereka yang arif dalam bidang pertanian memaklumkan untuk kawasan seluas tu kita hanya memerlukan sekitar 10 orang pekerja sahaja tidak memerlukan sehingga 85 orang dan mereka diberikan kebebasan untuk tinggal kemudian boleh keluar mencari rezeki di mana-mana tempat yang munasabah. Sebelum daripada ni ketika berada di bawah pengurusan IRIS, peserta-peserta ni tak dibenarkan keluar bekerja di luar. Mereka mesti bekerja dengan program Rimbunan Kasih. Dalam masa yang sama kita juga menggalakkan operasi baru yang nak dilaksanakan supaya mereka lebih mengutamakan peserta yang mendiami kawasan Rimbunan Kasih untuk diambil sebagai bekerja. Terima kasih.
Soalan tambahan saya yang kedua. Berkaitan dengan rumah Rimbunan Kasih berjumlah 100 buah tapi yang telah didiami 85 buah selama beberapa tahun dan apakah perancangan kerajaan untuk 15 rumah yang tinggal ini yang belum didiami dan bagaimana peserta-peserta yang akan dipilih untuk memenuhi rumah-rumah ini sebab dewasa ini memang perumahan merupakan kehendak rakyat kerana terlalu ramai rakyat yang perlukan rumah. Jadi dengan 15 yang kosong tak tahu dari segi status rumah itu masih elok atau pun rosak tetapi 15 buah ni mesti diberi kepada pemohon-pemohon jadi apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memenuhi 15 buah rumah yang pun telah siap?
Kita ada 15 lagi rumah yang kosong dan 15 rumah yang kosong ini sebenarnya rosak. Memang peliklah, rumah yang tidak diduduki rosak tapi itulah kenyataannya dan pihak JKR sedang melakukan proses pembaikian dengan dana sebagaimana yang saya sebutkan tadi daripada wang jaminan projek IRIS Corporation yang ada pada ICU dan bila siap insya-Allah untuk proses kemasukan peserta baru Yang Berhormat ADUN Rantau Abang bersama dengan Pejabat Daerah Dungun akan dilibatkan untuk kita menyelaraskan senarai peserta atau penghuni baki 15 buah rumah. Terima kasih.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya bercadang untuk nak tangguhkan sidang ini .....
Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya mohon Persidangan ini ditangguhkan Di Bawah Perkara 30.
Saya minta Yang Berhormat bacakan tajuknya saja dahulu kemudian serahkan kepada Bentara untuk dibawa kepada saya.
Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua.
“Adalah saya Zuraida Md. Noor, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita mohon mencadangkan bahawa Persidangan ini hendaklah ditangguhkan mengikut Fasal 30 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan Dewan yang mulia ini menyokong Usul Mengutuk Dan Mengecam Keganasan Zionis Di Gaza Dan Penjajahan di Bukit Golan”.
Terima kasih.
Minta Bentara bawa.
[Bentara Dewan memungut Kertas Usul daripada Y.B. Wakil Wanita
dan menyerahkannya kepada Y.B. Yang di-Pertua Dewan.]
Saya akan meneliti dahulu usul ini di bawah Perkara 30 sama ada perlu atau pun tidak. Saya akan beri jawapan selepas rehat nanti dan seterusnya saya tangguhkan Sidang ini pada pukul 11.25 pagi dan sebelum kita minum saya minta Yang Berhormat bergambar terlebih dahulu sebagaimana yang saya sebutkan lebih awal.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.55 PAGI.
PUKUL 11.35 PAGI
(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions
Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian mesyuarat disambung semula. Sebelum berehat tadi saya ada menerima satu Usul Di Bawah Perkara 30 Peraturan Tetap Dewan kita dan saya telah meneliti usul ini. Saya memutuskan usul ini adalah perkara tertentu mustahak bagi orang ramai dan juga perlu disegerakan. Maksudnya usul ini ada asasnya maka dengan itu sebelum saya benarkan usul ini dibawa seterusnya saya memerlukan tidak kurang daripada 9 orang untuk menyokong usul ini. Jadi saya minta ada sokongan tak daripada Ahli Yang Berhormat sekalian untuk menyokong usul ini? Saya nak 9 orang, sila bangun siapa yang menyokong usul ini.
….[Sembilan orang Ahli-ahli Yang Berhormat Wakil Kerajaan
telah bangun menyokong]…
Okey terima kasih. Usul ini saya terima. Jadi saya dengan ini mempersilakan pembawa usul iaitu Yang Berhormat ADUN Wanita kita untuk membentangkan usul tersebut. Dipersilakan.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya menyeru memohon keprihatinan seluruh Ahli Dewan untuk kita bersama-sama mengecam dua tragedi besar yang menimpa saudara seakidah kita di Timur Tengah saat ini.
Pertamanya, saya menyeru agar kita mengecam sekeras-kerasnya serangan negara haram Israel ke atas saudara kita di Gaza. Keduanya ialah kita turut mengecam tindakan melampaui batas Presiden Amerika Syarikat Donald Trumph yang melanggar Undang-undang Antarabangsa dengan menandatangani Pengisytiharan Bukit Golan yang dijajah dari tangan Syria sebagai milik negara haram Zionis.
Sesungguhnya kedua-dua peristiwa ini benar-benar mencalar maruah kita maruah ummah. Langkah Presiden Trumph ini juga sama seperti sebelum ini dengan mengiktiraf Baitulmuqaddis tempat suci ketiga orang Islam umat Islam sebagai ibu negara haram Israel pada Disember 2017. Sepertimana status Baitulmuqaddis yang mana hakikatnya dijajah oleh Israel begitulah juga dengan Bukit Golan ibarat melakukan jenayah di siang hari. Tindakan keji Amerika ini jelas melanggar dua resolusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di PBB serentak iaitu Resolusi Majlis Keselamatan 497 dan Resolusi 242.
Resolusi Majlis Keselamatan 497 jelas menyatakan bahawa keputusan Israel untuk melaksanakan undang-undang bidang kuasa dan pentadbiran di bawah Wilayah Bukit Golan milik Syria yang diduduki adalah batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan perundangan antarabangsa. Resolusi Majlis Keselamatan 242 pula memberi garis panduan jelas bahawa wilayah yang dirampas melalui peperangan adalah tidak sah untuk dimasukkan sebagai wilayah milik negara yang menjajah berkenaan. Alasan kononnya Bukit Golan bakal menjadi sasaran untuk melancarkan serangan ganas ke atas Israel amat hipokrit. Mengapa mereka tergamak berdiam diri saat Zionis Israel melakukan jenayah kemanusiaan dengan mengebom orang awam Palestin yang tidak bersalah yang dikepung di Gaza.
Sekali lagi saya menyeru agar kita seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu menunjukkan solidariti bersama-sama saudara kita di Gaza dan Bukit Golan dengan mengecam keras pencabulan hak asasi manusia dan pelanggaran Undang-undang Antarabangsa.
Isu ini merupakan perkara-perkara tertentu kerana telah melibatkan pencabulan penglibatan kepentingan orang ramai kerana ia melibatkan pencabulan hak asasi manusia dan mesti segera kecaman ekoran yang baru saja berlaku. Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai maka perlu disegerakan. Sekian terima kasih.
Terima kasih pada ADUN Wanita Yang Berhormat Hajah Zuraida yang telah mengemukakan Usul Di Bawah Perkara 30. Oleh kerana isu ini saya telah sebutkan tadi merupakan isu tertentu, mustahak pada orang ramai dan perlu disegerakan dan atas kepentingan kita umat Islam saya berpendapat macam panjang dah supaya apa nama ni kita tak melanjutkan perbahasan, jadi saya nak terus kepada undian -
Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan
dipersetujui dengan sebulat suara.
USUL INI DITERIMA.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat diteruskan kepada Tertib Pekerjaan Dewan seterusnya. Sila Setiausaha.
Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul Yang Telah Diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Haji Satiful Bahari bin Mamat, Wakil Paka untuk mengemukakan usul.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan:-
“Bahawa Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada hari ini membuat KETETAPAN bersetuju merakam dan merafak sembah ucapan penghargaan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kerana menyampaikan Titah Diraja mengenai dasar-dasar Kerajaan bersempena Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas dan bersetuju merafak sembah ikrar taat setia Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan bersedia memberi kerjasama yang erat kepada pentadbiran negeri supaya dasar-dasar Kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna demi kepentingan negeri dan rakyat seluruhnya.”
Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, saya mohon menyokong usul tersebut.
Usul ini telah mendapat sokongan, sekarang saya buka untuk perbahasan. Saya bercadang untuk Penyokong Usul saya nak beri masa 20 minit sementara Ahli-ahli Berhormat yang lain selama 15 minit. Saya persilakan Penyokong Usul untuk memulakan perbahasan.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil ‘alamin. Wassolatu wassolamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Amma ba’d.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, tuan-tuan, puan-puan hadirin-hadirat yang dikasihi sekalian.
Alhamdulillah marilah sama- sama kita merakamkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang terus mengurniakan peluang kepada kita semua untuk berada dalam Persidangan pada kali ini. Dalam usaha untuk memberikan fokus kepentingan terhadap rakyat Negeri Terengganu Darul Iman. Tepoh merakamkan ucapan penghargaan serta Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan yang telah bertitah menyentuh dasar-dasar kerajaan sempena Pembukaan Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas.
Sebelum saya lanjutkan perbahasan, izinkan saya mengajak semua Ahli Yang Berhormat dan juga sidang pendengar yang lain untuk menghayati kisah yang cukup bererti buat kita semua melalui Al-Quran Nur Karim. Kata Allah Subhanahu Wata’ala:-
“Dan sebutkanlah peristiwa Dzun Nun iaitu kisah Nabi Yunus ‘Alaihissalam ketika ia pergi meninggalkan kaumnya dalam keadaan yang marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan. Setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku, maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap gelita dengan berkata. Sesungguhnya tiada Tuhan yang dapat menolong melainkan Engkau Ya Allah, Maha Suci Engkau daripada melakukan kezaliman. Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah al-Anbiya ayat-87).
Saya sengaja memilih ayat daripada Surah Al-Anbiya untuk mengenang balik kisah Nabi Yunus ‘Alaihissalam kerana para alim ulama telah menyebut ada tiga isi kandungan doa yang dikemukakan oleh Nabi Yunus ‘Alaihissalam untuk diberikan perhatian oleh kita. Peristiwa yang berlaku ini ketika Nabi Yunus ‘Alaihissalam gagal mendapatkan sokongan daripada kaumnya untuk menyambut dakwah yang dikemukakan, keluar daripada kawasan kaumnya pada waktu tersebut, menaiki sebuah kapal, berdepan dengan ribut, kemudian dibuang muatan dalam kapal tersebut dan beliau juga antara yang telah dihumbankan ke dalam laut setelah berlaku pengundian. Maka pada waktu tersebut datang seekor ikan yang besar lalu terus menelannya menyebabkan Nabi Yunus ‘Alaihissalam berada dalam perut ikan tersebut. Maka dalam keadaan kegelapan itulah Nabi Yunus berdoa kepada Allah. Antaranya disebut di dalam ayat ini:
Bahawa tidak ada Tuhan melainkan Engkau,
Maha Suci Engkau,
Sesungguhnya aku terdiri daripada kalangan orang yang zalim.
Doa yang ringkas ini disimpulkan oleh para alim ulama ada tiga erti. Yang pertama adalah kalimah al-Tauhid dengan menyebut:
Bahawa tidak ada Tuhan melainkan Engkau, disusuli dengan kalimah seterusnya iaitu kalimah al-Tanzif yang disebut sebagai kalimah penyucian.
Maha Suci Engkau
Dan kalimah yang ketiga adalah kalimatul al-Iktiraf iaitu kalimah pengakuan kesalahan diri sesungguhnya aku terdiri daripada kalangan orang-orang yang zalim. Itulah yang dilalui oleh Nabi Yunus ‘Alaihissalam dengan kalimah Tauhid dia memiliki kekuatan, dengan kalimah Tanzif dia menyerahkan diri kepada Allah dengan naik kapalnya, dengan berlaku ributnya, dengan dihumbankan ke dalam lautnya, dalam masa yang sama ditelan pula oleh seekor ikan yang besar. Kemudian seterusnya Allah mengizinkan untuk ia keluar kembali semuanya adalah kalimah penyucian yang dipulangkan balik kepada Allah sebagaimana kunci yang paling besar dalam kehidupan kita adalah kalimatul iktiraf, mengaku kesalahan diri untuk kita membaiki demi masa depan. Inilah yang telah dilakukan oleh Nabi Yunus ‘Alaihissalam. Saya menyebut isi kandungan ini supaya masing-masing daripada kalangan kita memiliki tiga kunci penting ini dengan kalimah tauhidnya, dengan kalimah tanzifnya dalam masa yang sama kita mengaku kesalahan diri untuk membentuk masa depan yang lebih gemilang di hari yang mendatang.
Tuan Yang di-Pertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah menyentuh secara menyeluruh tentang dasar serta agenda pembangunan untuk rakyat melalui Titah Ucapan Pembukaan kelmarin. Pelbagai isu telah disentuh termasuk dalam kepentingan memartabatkan Agama Islam, Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Negeri agar dipelihara dengan sebaiknya menjadi antara intipati utama dalam Titah Ucapan Tuanku. Tepoh berhasrat untuk mengajak semua Ahli Dewan agar dapat melihat kerangka demokrasi Negara kita dan kesan yang terpaksa dihadapi pada hari ini. Kalau kita membuat penilaian sebahagian besar pengkaji politik Malaysia akan bersetuju bahawa sistem yang mendasari politik Malaysia bersifat permuafakatan. Ini berlaku dalam kerajaan yang lama dan kita boleh melihat siapa yang mendominasi kerajaan yang lepas di peringkat Persekutuan. Pada hari ini Kerajaan Persekutuan telah beralih. Kita juga dapat melihat di atas sifat permuafakatan mereka. Mereka berjaya menubuhkan Kerajaan. Kita juga mampu melihat siapakah yang lebih mendominasi pada hari ini.
Inilah kesan yang telah dirasai oleh seluruh Rakyat Malaysia pasca PRU Ke-14. Kita perlu melihat situasi ini sebagai cabaran dan melihat keperluan untuk menongkah cabaran ini secara lebih cekap. Beberapa aspek perlu dipegang oleh semua pemimpin politik dan pegawai-pegawai bagi meyakinkan rakyat bahawa keutuhan dan jati diri pemimpin mereka sentiasa evergreen dengan izin, dan bersedia untuk melakukan kembali pembelaan. Justeru atas semangat integriti dan amanah ada beberapa kesilapan lepas perlu disebut kembali dalam ruangan Dewan ini bukan untuk menunding jari siapa yang salah, kerana kita perlu terus memandang ke depan bagi melihat rakyat, bangsa, Negeri dan Negara kita tidak berada dalam keadaan yang terumbang-ambing. Saya bersetuju pihak Kerajaan hanya perlu fokus gerak kerja kepentingan rakyat. Menyelesaikan apa yang belum selesai. Kesilapan yang dipelajari yang silam usahlah diulangi kembali. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan untuk melakukan sedikit muhasabah dalam beberapa kes yang berlaku untuk dijadikan panduan di hari yang mendatang.
Yang pertama, saya melihat dalam insiden pembelian Bas Amphicoach yang telah dijelaskan di dalam sesi soal jawab di sebelah pagi tadi. Kita dapat mengikuti maklum balas pihak Kerajaan berkenaan dengan status Bas Amphicoach, jelas menunjukkan kita tidak lepasi standard undang-undang yang diperuntukkan sama ada di bawah Jabatan Laut ataupun di bawah JPJ sendiri. Ertinya atas darat tak lepas, atas air pun kita tak lepas. Projek yang menelan belanja jutaan ringgit ini tidak memiliki due diligence dengan izin, yang komprehensif jika ia perlu hadir untuk bisnes, maka bisnesnya bagaimana? Lebih malang ia tidak lepasi pula aspek keselamatan dan seumpamanya. Ya, saya bangkitkan isu ini bukan untuk mencari salah sesiapa, untuk itu kerja-kerja ini akan dilakukan oleh pihak yang lain. Yang saya ingin tegaskan adalah value for money dengan izin, dapat diterjemahkan oleh semua kepimpinan Negeri dalam mengurus tadbir. Bagaimana nak cipta projek yang memiliki daya tahan tersendiri, membawa pulangan yang berbaloi kepada rakyat bukan projek tangkap muat semata-mata.
Tuan Yang di-Pertua, untuk projek-projek sakit yang berbaki, saya mencadangkan Kerajaan Negeri menubuhkan satu pasukan task force yang memiliki pelbagai kepakaran untuk meneliti keseluruhan projek-projek super mega ini, sama ada memiliki keboleh upayaan untuk disiapkan, diguna dan dimanfaatkan. Pembangunan Pulau Bebas Cukai, Taman Ilmu Tembila, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan lain-lain. Seboleh mungkin semua pimpinan Kerajaan Negeri mengelak untuk memberikan komitmen terhadap pembangunan ini sehingga task force ini memberikan pandangan profesional mereka atas untung rugi pengurusan projek, pemanfaatan atas projek dan sebagainya.
Saya berikan contoh Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, alhamdulillah April ini akan bermula kerja-kerja menukar padang bola sepak di bawah seliaan Malaysia
Footballing. Saya rakamkan ucapan terima kasih atas sokongan padu daripada pihak Kerajaan Negeri sehingga akhirnya usaha menukar padang ini menjadi kenyataan. Pun begitu, saya risau dengan kos berjangkit selepas ini, keperluan bumbungnya, bilik VIPnya, trek balapannya, ini belum lagi masuk tentang kos baik pulih keseluruhan komponen-komponen dalam stadium ini. Malahan tidak keterlaluan jika boleh dikatakan kos baik pulih sahaja boleh mencecah kos pembinaan sebuah stadium baharu yang berkapasiti lebih rendah.
Di dalam insiden-insiden ini, kita juga perlu menyemak balik kebolehupayaan kontraktor di dalam melakukan kerja-kerja. Saya memberi contoh di dalam finding yang dibuat oleh PAC sebagai suatu contoh malahan ia juga pernah disebutkan oleh kami ketika mana berada dalam kerusi Pembangkang satu ketika dahulu. Umpamanya lantikan kontraktor yang hanya ditubuhkan semata-mata untuk melaksanakan kerja tersebut tanpa kita mengetahui apakah prestasi yang pernah dipamerkan oleh kontraktor tersebut. Demikian juga projek yang telah diterminatekan oleh pihak Kerajaan Negeri. Di dalam bumbung Stadium Sultan Mizan pun berlaku dalam isu yang sama apabila kontraktor yang dilantik tidak terbukti memiliki keupayaan untuk memperbaiki bumbung atau memasang kembali bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan ini terbukti akhirnya kontraktor ini telah diisytiharkan bankrap dan dalam masa yang sama kita sudah bersiap sedia untuk mengambil risiko yang sangat dahsyat memberikan projek kepada kontraktor yang tidak terbukti pengalaman, dalam masa yang sama kita sedang mengambil risiko, keruntuhan bumbung kali yang kedua kerana ini adalah lokasi yang sangat memudharatkan untuk rakyat kita.
Tuan Yang di-Pertua, kini datang pula bebanan projek-projek deferred payment yang memulakan proses pembayaran pada tahun ini secara tidak langsung ia akan menyebabkan kerancakan agenda pembangunan yang akan terikat dengan kos ratusan juta. Kos ratusan juta ini akan tertumpu untuk memulakan pembayaran bermula pada tahun ini. Saya mencadangkan agar dilakukan semakan semula dan menggunakan pelbagai kaedah yang boleh membantu memenangkan kembali kepentingan rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, sebentar tadi saya menyentuh tentang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kini saya beralih kepada Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang merupakan stadium lagenda Negeri Terengganu. Percayalah, stadium ini amat suram. Kalau kita melawat stadium-stadium dalam seluruh pelusuk negara ini kita akan merasai kekerdilan ekoran suram dan lusuhnya stadium negeri sendiri. Sebagai antara mercu tanda utama negeri, apakah pihak-pihak Kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil inisiatif rebranding, rejuvenate dengan izin, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ini. Paling tidak, stadium yang berada di hadapan bangunan pentabiran Kerajaan Negeri, berada dalam keadaan yang cukup indah untuk ditatap, dilihat oleh tetamu-tetamu yang berkunjung di bangunan pusat pertadbiran negeri ataupun yang berkunjung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ini. Saya menjemput semua tetamu yang berada dalam Dewan ini ketika kita menuruni escalator rehat nanti, pandanglah seketika Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan masing-masing akan merasai kebenaran apa yang telah disebut oleh saya dalam ucapan ini.
Saya tidak bercadang untuk memperincikan keseluruhan, tetapi sangat bersedia untuk membantu mencurahkan idea untuk melihat stadium lebih gah berada di depan pusat pentadbiran negeri. Saya menyentuh perkara ini bukan hanya berfaktorkan atas kegunaan bola sepak semata-mata. Tetapi turut melihat dalam kepentingan kegunaan atas pelbagai kapasiti termasuk perhimpunan sempena perarakan kemerdekaan, dan pelbagai acara lain yang dianjurkan di lokasi tersebut. Tidak lengkap seandainya saya hanya berbicara soal stadium tanpa menyentuh soal pembangunan bola sepak Negeri Terengganu. Lantikan ahli politik di dalam Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu merupakan pindaan statut yang dibuat sendiri oleh pihak persatuan melalui kongres luarbiasa, ia bukan permintaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, juga ia bukan permintaan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu. Memang benar, kita berhasrat agar persatuan ini diuruskan sendiri oleh pakar dalam bola sepak suatu hari nanti. Bagi saya sebagai ahli politik, kita boleh tumpukan kerja-kerja dalam pentadbiran kerajaan. Apakan daya buat masa ini kami menggalas dahulu tanggungjawab penting ini ekoran bola sepak dilihat sebagai ibu sukan.
Di Terengganu sukan bola sepak ini mendapat tempat di hati seluruh lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, anak muda, wanita, lelaki termasuk golongan veteran. Buktinya cukup jelas apabila setiap kali perlawanan, stadium dilimpahi penonton. Jika layak ke final krisis tiket akan berlaku dalam konteks negeri tidak ada hiburan anak muda diperolehi secara mingguan melainkan menonton bola sepak. Sewajarnya bentuk hiburan sihat ini perlu dipelihara dan disokong kuat oleh pihak kerajaan. Saya sentuh perkara ini agar mendapat perhatian pihak Kerajaan Negeri untuk terus memberikan sokongan khususnya dalam penyaluran kewangan secukupnya dalam isu emolumen dan tanggungjawab berkaitan. Saya ingin fahamkan Dewan pada hari ini pelaburan dalam bola sepak adalah untuk memastikan keseimbangan keperluan yang lain. Saya suarakan isu yang sama walaupun persatuan ini ditadbir oleh individu lain kerana bukan di atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden FA. Alhamdulillah, buat masa ini kita tidak berdepan tunggakan gaji. Ucapan terima kasih buat Kerajaan Negeri yang telah membantu secara berterusan tetapi kita berdepan dengan isu hutang lampau yang agak banyak. Justeru seandainya dapat diformulakan kembali kaedah dan inisiatif ia suatu perkara yang cukup melegakan.
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya beralih kepada isu Terengganu Sports Rehabilitation Center. Walaupun ada perkataan sports pada pangkal namanya tetapi ia bukan berada di bawah Portfolio Sukan. Jadi saya berharap ia tidak dijawab nanti oleh Exco saya. Saya tidak jelas kenapa soalan saya ditolak untuk Khamis depan. Ada beberapa isu yang perlu diperhalusi dalam pembangunan projek ini. Yang pertama berapakah jumlah pelaburan yang dibuat oleh Terengganu Inc. untuk pembelian aset dan kos pengubahsuaian di Permai Hotel untuk lokasi sports rehab ini. Yang kedua, apakah yang menghalang sports rehab ini untuk beroperasi sehingga hari ini belum lagi dapat dilaksanakan. Yang ketiga apakah operasi ini akan diteruskan atau adakah ianya akan menjadi satu lagi koleksi pelaburan yang gagal. Saya kemukakan perkara ini kerana bimbang dalam tempoh yang lama tidak beroperasi bagaimana nasib semua peralatan yang mencecah harga jutaan ringgit, Permai Hotel juga sebagai salah satu syarikat hotel Kerajaan Negeri juga menanggung bebanan ekoran lokasi yang boleh mencipta peluang perniagaan hanya dijadikan stor simpanan peralatan, ini amat merugikan.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai penghujung izinkan saya menyentuh sedikit tentang ekonomi Negeri. Umum mengetahui kita berdepan dengan lima cabaran ekonomi semasa di Negeri, yang pertama kebergantungan kepada perbelanjaan awam dalam memacu pertumbuhan ekonomi, yang kedua pelaburan swasta yang lemah, yang ketiga rantaian ekonomi rendah, yang keempat keterbatasan tanah, yang kelima ekosistem pelaburan. Lima perkara ini mesti jelas dalam kerangka pemikiran semua pentadbir untuk merentasi cabaran ini dengan objektif yang lebih jelas dan kukuh. Cetusan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 amat tepat dengan masanya, pun begitu jangan terlalu lewat diperturunkan kerangkanya kepada semua lapisan Pemimpin Negeri dan juga Penjawat Awam Negeri, dari atas ke bawah, semuanya mesti hadam secara menyeluruh, jangan mengambil sikap mudah membiarkan ia berlalu tanpa sebarang tindakan agresif dan pro-aktif demi kepentingan rakyat, kita sewajarnya mengikuti roadmap dan batu tanda yang ditetapkan untuk mencapai sasaran. Elakkan berlaku kerja secara ikut dang dan ikut selera. Perubahan minda, gaya kerja perlu ditingkatkan secara holistik untuk melihat outcome yang lebih luar biasa. Pihak Kerajaan perlu untuk membentuk dasar ekonomi yang lebih cergas, tumpukan sektor utama ekonomi secara serius, tingkatkan produktiviti setiap sektor dan perbaiki rantaian antara industri dalam ekonomi Negeri.
Sila…
Sektor perkhidmatan awam…
Singkatkan ucapan Yang Berhormat…
Perlu menjadi nukleus utama dalam membentuk sokongan padu, untuk mana-mana cetusan pemerkasaan ekonomi setempat, memiliki SOP yang cekap dan jelas untuk dilaksanakan semua peringkat. Inilah harapan kepada semua Ahli Yang Berhormat dan kepada semua Penjawat-penjawat Awam yang berada di bawah naungan Kerajaan Negeri Terengganu.
Tuan Yang di-Pertua, pengalaman pihak Pembangkang dalam Kerajaan, saya sendiri pun agak keliru untuk menggunakan Pembangkang ataupun perkataan yang lain, kita gunalah sementara perkataan Pembangkang ini. Pengalaman mereka berada dalam pihak Kerajaan, amat perlu untuk diguna bersama bagi melihat kesinambungan kemajuan Terengganu, walau berdebat dan berhujah dalam Dewan ia tetap untuk melihat kesejahteraan rakyat. Insya-Allah harapan yang dibawa oleh Tuanku Sultan dapat digalas bersama oleh kita semua untuk melihat keupayaan Terengganu. Semoga usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk melihat Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera dapat direalisasikan sebaiknya.
Tuan Yang di-Pertua, Tepoh mohon menyokong. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Wa’alaikumu’salam warahmatullah. Terima kasih Tepoh. Saya buka pada Ahli Yang Berhormat yang ingin mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Ucapan Diraja. Sila Wakil Buluh Gading.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil alamin wabihi nastain wa nusali wa nussalim wa’ala Rasulihi ‘alamin. Wa’ala alihi wa ashabihi ajmain. Amma ba’d. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pegawai, Pemerhati seterusnya hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua yang telah memberikan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian bagi membahaskan ucapan Tuanku Al-Sultan yang telah disampaikan pada hari kelmarin sempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, dalam Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan sebagaimana tercatat pada muka surat 26 dan 27, Baginda Tuanku Al-Sultan ada menegaskan soal memperkasa dan mempertabatkan lagi Agama Islam dan Umat Islam di Negeri ini bagi membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai Addin, di waktu yang sama Tuanku Al-Sultan melahirkan rasa syukur atas usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri menubuhkan Akademik Didik Ulama’ Amilin Terengganu iaitu DUAT, di samping memperkasakan lagi Program SPAIT iaitu Kelas Pengajian Agama Hujung Minggu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Di mana kedua-duanya merupakan antara usaha yang banyak yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan bagi memertabat dan memperkasakan Islam dan umatnya di Negeri ini.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, antara perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan bagi tujuan memertabatkan Islam dan umatnya juga ialah dengan memperkasakan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu. Jika diteliti kita dapati masih banyak lagi aspek yang perlu ditambah baik dari masa ke semasa. Di antaranya ialah berkait dengan usaha merujukkan lima lapisan Mahkamah Syariah. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sehingga hari ini, kita di Terengganu hanya ada tiga lapisan Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Bagi memperkasakan Islam, maka disarankan kepada pihak Kerajaan bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan agar tiga lapisan Mahkamah Syariah ini dipertingkatkan kepada lima lapisan, dengan menambah Mahkamah Tengah Syariah dan yang paling tinggi Mahkamah Utama Rayuan Syariah.
Paling tidak, kalaupun tidak lima peringkat, sekurang-kurangnya lima peringkat iaitu Mahkamah Utama Syariah selain daripada Mahkamah Rayuan Syariah yang ada pada hari ini. Di samping itu Kerajaan juga dipohon agar memberikan perhatian yang serius dari aspek kebajikan fizikal dan kebajikan infrastruktur Mahkamah Syariah. Yang dimaksudkan dengan kebajikan fizikal ialah dari aspek pembinaan bangunan Mahkamah Syariah itu sendiri. Untuk makluman, Dewan yang mulia ini sehingga hari ini, kita memiliki enam Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah dan Negeri Terengganu, empat Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah menggunakan bangunan lama. Bangunan lama, Pejabat Agama dan dua lagi Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah iaitu Setiu dan Kemaman dengan menyewa di rumah kedai.
Tuan Yang di-Pertua, Mahkamah Rendah Syariah hanya dengan menyewa di rumah kedai bukannya menyewa sebuah bangunan berasingan jauh sekali untuk miliki bangunan sendiri. Kalau di Kemaman itu, saya difahamkan bukan sahaja menyewa di rumah kedai bahkan keadaannya agak uzur di samping masalah kumbahan yang berlaku sehingga mengeluarkan bauan yang tidak menyenangkan mereka yang mengambil khidmat di Mahkamah Syariah tersebut. Kadang-kadang rakyat menjadi confuse apakah ini Mahkamah Syariah dan kadang-kadang mereka keliru antara masuk pintu rumah kedai dengan masuk pintu Mahkamah Syariah, ia sangat menyedihkan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua saya bukan berhasrat untuk menyalahkan mana-mana pihak dan perkara yang dibangkitkan ini kita mahu bergerak ke hadapan dan saya menyatakan ini dengan harapan agar pihak Kerajaan dapat meletakkan pembinaan Mahkamah Syariah ini dalam senarai keutamaan dalam Pelan Pembangunan Negeri yang akan datang.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, manakala yang dimaksudkan dengan kebajikan infrastruktur pula ialah dari sudut penyediaan infrastruktur ICT. Untuk makluman Dewan yang mulia ini sehingga Januari 2018 Mahkamah Syariah di semua peringkat di seluruh Negeri Terengganu memiliki 82 buah komputer dan 11 laptop sahaja. Daripada 82 komputer, satu daripadanya telah berusia pengunaannya selama 18 tahun. Satu daripadanya telah berusia 15 tahun penggunaannya, 40 daripadanya 11 tahun, 4 daripadanya 10 tahun, 6 daripadanya 9 tahun, dan 22 daripadanya 8 tahun usia penggunaannya yang sangat daif. Sehingga hari ini apabila Kerajaan Persekutuan telah membentuk satu Sistem e-Syariah bagi memperkasakan Mahkamah Syariah ini mahkamah-mahkamah di negeri kita ini tidak dapat mengakses ataupun melaksanakan sepenuhnya Sistem e-Syariah disebabkan penggunaan komputer dan laptop yang tidak moden atau pun yang tidak memenuhi keperluan masa kini. Oleh kerana itu kita mengharapkan perkara ini diambil perhatian serius oleh pihak Kerajaan Negeri bagi usaha untuk kita memartabatkan Islam dan umatnya di negeri kita ini khususnya sebagaimana yang dibangkitkan dan disebut oleh Tuanku Al–Sultan dalam Titah Ucapan pada hari semalam.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, pada muka surat 20 Tuanku Al-Sultan juga ada melahirkan rasa gembira dan melafazkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang berjaya mengekalkan kecemerlangan pendidikan Terengganu khususnya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang lalu. Saya juga mengambil kesempatan di sini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan di waktu yang sama saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang telah mengumumkan penajaan biasiswa sepenuhnya kepada 4 pelajar cemerlang Terengganu yang mendapat semua A+ dalam SPM 2018 yang lalu. Pengumuman tersebut dibuat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu sendiri di Bilik Mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik pada 14 Mac 2019 yang lepas. Syabas dan tahniah juga kepada 4 pelajar yang berkenaan iaitu Muhammad Hilman Nur Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu dan Nurin Badlisya Muhammad Azmin dari Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang mendapat 11 A+. Manakala Amirah Husna Abdul Kahar dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Nerus dan Nur Atikah Syuhada Hamdan dari Sekolah Menengah Tengku Lela Segara Marang dengan masing-masing mendapat 9 A+. Ini merupakan satu lembaran baru yang dibuka semula oleh Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan Parti Islam Semalaysia (PAS) dengan peruntukan bajet, Bajet 2019 sebanyak RM6.5 juta bagi tujuan biasiswa ini sebagai satu dorongan yang kuat kepada seluruh anak Terengganu untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang dalam pencapaian akademik mereka.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kita di samping bergembira dengan tajaan kepada pelajar cemerlang, tajaan biasiswa ini namun masih ada satu dua persoalan yang masih bermain dalam kotak pemikiran masyarakat khususnya di kalangan para ibu bapa dan anak-anak para pelajar. Persoalan yang perlu dirungkai dengan jawapan yang tuntas dan menyakinkan dalam Dewan yang mulia ini. Persoalan yang saya maksudkan ialah apakah skop dan kriteria dan maksud cemerlang yang melayakkan seseorang pelajar itu mendapat tawaran biasiswa Kerajaan ini?” Adakah biasiswa yang ditawarkan itu hanya kepada pelajar cemerlang melalui peperiksaan arus perdana seperti SPM dan STPM sahaja. Bagaimana pula jika ada di kalangan pelajar kita yang cemerlang melalui Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan mendapat mumtaz dalam semua subjek yang diambil sehingga melayakkan mereka menyambung pelajaran khususnya di luar negara di Timur Tengah dan seumpamanya. Yang kedua adakah biasiswa yang ditawarkan ini hanya kepada pelajar cemerlang yang menyambung pelajaran dalam bidang akademik sahaja seperti accountant, engineer dan seumpamanya atau termasuk juga yang menyambung pelajaran dalam bidang pengkhususan agama seperti Syariah Usuluddin dan seumpamanya. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat, sambil-sambil berucap itu minta jelling-jeling sikit jam sebab kita pakai timer sekarang ini tapi masa itu kena jaga ya.
Terima kasih Yang di-Pertua. Saya ini kali pertama berucap Tuan Yang di-Pertua.
Sila. Sila.
Setelah berapa sidang yang telah berlangsung sebelum daripada ini jadi mungkin bagi lebih masa sikitlah.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kita tidak nafikan pelajar yang cemerlang yang belajar di Mesir, di Jordan dan juga di beberapa buah negara lain di Timur Tengah sudah ada peruntukan melalui zakat tapi itu hanya cukup untuk pembiayaan yuran pengajian mereka sahaja berbanding dengan kelebihan biasiswa yang kita semua sedia maklum di mana skop pembiayaannya bersifat menyeluruh yang disediakan kepada pelajar yang berkenaan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya kira polisi-polisi ini perlu dijelaskan dengan jelas kepada rakyat agar tidak berbangkit persoalan-persoalan dan kekhilafan di kemudian hari. Berkaitan dengan pendidikan ini juga khususnya dalam bidang agama saya berharap Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang lebih proaktif bagi mendapatkan tempat untuk pelajar-pelajar kita menyambung pengajian tinggi dari pelbagai negara khususnya di Timur Tengah tidak hanya terhad kepada beberapa buah negara seumpama Mesir, Jordan, Sudan dan seumpamanya. Dalam hal ini barangkali ada baiknya jika pihak Kerajaan Negeri dapat membina kerjasama yang erat dengan Kerajaan Kelantan yang hari ini saya difahamkan telah berjaya menghantar pelajar-pelajar mereka ke Tunisia dan Morocco, di mana ada di kalangan pelajar tersebut mendapat tajaan biasiswa penuh dari negara yang berkenaan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, 3 minit lagi, insya-Allah. Di kesempatan ini juga, saya ingin mendapatkan penjelasan terhadap beberapa isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat:-
Yang pertama, berkaitan Pusat Pemprosesan Susu Kambing Tenusu yang mampu memproses 1,000 liter susu sehari di Pusat Pengembangan Veterinar Kampung Jenang, Marang yang sekaligus dapat menambah pendapatan puluhan penternak di negeri kita ini. Saya ingin penjelasan apakah status terkini pembinaan pusat tersebut.
Yang kedua, berkaitan dengan KTNZ iaitu Kompleks Tuanku Nur Zahirah di Kampung Tanjung Bunut. Kompleks yang telah siap dibina pada tahun 2011 dengan kos RM4.6 juta itu adalah bertujuan memperkasakan lagi industri songket dan batik sekaligus mampu meningkatkan ekonomi negeri dengan kedatangan peminat songket dan batik dari dalam dan luar negara. Namun keadaannya kini bagaikan hidup segan mati tak mahu. Jadi apakah perancangan terkini Kerajaan Negeri bagi menghidupkan kembali fungsi dan matlamat penubuhan KTNZ.
Dan yang akhir sekali, yang ketiga Yang Berhormat Tuan Yang Di-pertua, saya ingin tahu apakah status terkini proses pembinaan Masjid Kampung Kesom Alor Rekang, dalam kawasan DUN Buluh Gading, di mana saya difahamkan proses pengambilan tanah penduduk dan juga bayaran pampasan bagi tujuan pembinaan masjid ini telah pun selesai semenjak 2015 lagi. Namun, sehingga kini belum ada apa-apa pergerakan ke arah pembinaan tersebut .....
Tolong ringkaskan Yang Berhormat, masa Yang Berhormat sudah cukup.
….seperti pembersihan kawasan, penambunan tanah dan seumpamanya. Saya berharap selepas daripada Sidang ini, akan ada perkembangan yang positif dan berita gembira daripada Kerajaan Negeri bagi penduduk di kampung tersebut yang sabar menunggu untuk melihat sebuah masjid baru di kawasan mereka.
Yang Berhormat Tuan Yang Di-pertua, saya kira itulah beberapa isu yang saya ingin dibangkitkan pada hari ini untuk perhatian pihak Kerajaan Negeri. Buluh Gading mohon menyokong. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu ’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Wakil Buluh Gading. Persidangan yang lepas Buluh Gading dia uzur, jadi hari ini kita bagi peluang, walaupun lebih daripada masa yang diperuntukkan. Tapi saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat lain yang mengambil bahagian dalam perbahasan untuk jaga masa kerana kita sudah menggunakan sistem timer sekarang ni, boleh tengok daripada masa ke semasa sama ada kita sudah melewati masa ataupun tidak. Pandai-pandailah gunakan masa. Saya persilakan, sila Yang Berhormat daripada Kemasik.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil alamin. Assalatu wassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dr. Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan, para Pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memberikan keizinan kepada kita untuk menghadiri Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas ini. Alhamdulillah. Kemasik dalam kesempatan yang diberikan pada hari ini, merakamkan ucapan penghargaan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan yang telah bertitah menyentuh pelbagai aspek pelaksanaan dan dasar-dasar yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan bersempena dengan Pembukaan Penggal Persidangan Yang Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas ini.
Menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, beberapa perkara yang telah disentuh. Antara lain berkenaan konsep kepimpinan, kemakmuran, keamanan dan keharmonian negeri, peningkatan tahap sosioekonomi negeri, menyediakan negeri sebagai sebuah destinasi pelaburan yang kondusif, pembangunan negeri yang komprehensif, pembangunan yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi, penjenamaan Negeri Terengganu sebagai destinasi ekopelancongan yang kompetitif, pembangunan modal insan, peningkatan dan pemerkasaan sektor pertanian, pembangunan usahawan, menjaga kebajikan serta menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat dan lain-lain tersebut. Semua ini menujukkan rasa keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan ke atas keharmonian serta kesejahteraan negeri, pembangunan dan kemajuan negeri berseiring dengan kebajikan dan keprihatinan kerajaan kepada seluruh rakyat di dalam Negeri Terengganu yang tercinta ini.
Kemasik berkeyakinan Terengganu di bawah kepimpinanan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri bin Mokthtar serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersama seluruh jentera kerajaan sedang dan akan terus merangka, merancang, melaksanakan dan menyempurnakan pelbagai program yang diperlukan bagi memastikan tercapai cita-cita kita semua untuk membina sebuah Negeri Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Kemasik suka menyentuh beberapa perkara dari Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, antaranya Baginda Al-Sultan menitahkan berkenaan dengan kejayaan mengamalkan konsep kepimpinan yang matang dan sejahtera. Konsep yang digagaskan oleh PAS di bawah Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) telah memberi suatu impak yang sangat baik kepada perpaduan, kesepakatan dan keharmonian dalam pelbagai perkara terutama untuk kebaikan dan kejayaan rakyat, negeri, negara, agama dan bangsa. Budaya ini akan memberi impak kepada penyuburan budaya politik yang berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran. Ia juga bakal meningkatkan persaingan negeri dan negara dalam ekonomi dan lain-lainnya secara harmoni. Sudah pasti ia akan mengelakkan ketidakstabilan politik, sosial dan ekonomi negeri sebagaimana yang sama-sama kita rasai dan nikmati sekarang. Impak lain yang boleh juga saya sebut dalam perbahasan ini adalah budaya ini insya-Allah akan mengelak perselisihan dalam kalangan rakyat dan ketidakstabilan negeri dan negara, membendung parti pemerintah atau pembangkang daripada memperkotak-katikkan rakyat melalui pelbagai bentuk manipulasi seterusnya ia juga mampu menutup ruang daripada campur tangan pihak politik luar dalam menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan negeri dan negara tercinta ini. Mungkin untuk menyegarkan balik kepada budaya politik matang yang telah digagaskan terutama pada tujuh ciri budaya politik matang sejahtera ini iaitu yang pertama, politik bertunjangkan prinsip. Yang kedua, politik dakwah dan amal maaruf nahi mungkar. Yang ketiga, politik penyelesaian berasaskan Islam. Yang keempat, politik utamakan rakyat. Yang kelima, politik damai dan diplomasi Yang keenam, politik benar bukan persepsi. Yang ketujuh, politik rasional dan profesional.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, dalam Titah Kebawah Duli Maha Mulia Sultan turut menyebut berkenaan peningkatan jumlah pelaburan yang tinggi pada 2018 memberi indikator baik kepada pembangunan negeri. Usaha berterusan dan lebih agresif perlu dilakukan bagi memastikan ekosistem pelaburan seperti infastruktur, gaya hidup dan kemudahan utiliti terus diperkasakan bagi mengekalkan Terengganu sebagai hab pelaburan yang kondusif. Tindakan yang lebih berfokus perlu diberikan bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta dalam dan luar negara memilih Terengganu untuk melabur dan menjadi destinasi pelaburan yang baik berbanding negeri-negeri lain. Kos awal pelaburan dan menjalankan perniagaan perlu diformulasikan kepada yang lebih kompetitif tanpa menafikan kepentingan negeri dan keperluan rakyat, jaringan pengangkutan darat, laut dan udara perlu ditambah baik dan diperkasakan.
Pembangunan infastruktur teknologi maklumat dan komunikasi khususnya kemudahan internet berkelajuan tinggi juga antara lain membantu menyokong perkembangan pelaburan ini. Persediaan menerusi era Revolusi Industri 4.0 termasuk kepada transformasi kepada Teknologi 5G juga perlu diberi perhatian sewajarnya. Dilaporkan jangkaan Teknologi 5G akan memacu tambahan jualan tahunan pada 2035 sebanyak USD12 trilion sebagaimana anggaran dalam rujukan IHS Markit. Pembangunan kemudahan internet berkelajuan tinggi ini bakal meningkatkan keupayaan kita untuk mendepani era Revolusi Industri 4.0 dan Tranformasi Teknologi 5G dan juga kesediaan Terengganu untuk menjadi Hab Pembangunan Industri Robotik di rantau ini.
Institusi pengajian tinggi berasaskan teknikal seperti TATIUC, TESDEC boleh terlibat langsung dalam melatih dan memperkasa bakat serta kemahiran yang dimiliki pekerja tempatan dan pelajar-pelajar dalam industri ini. Industri yang telah establish dengan izin, seperti minyak dan gas dan industri berat lain pula perlu terus diperkasakan dan dipertingkatan. Kawasan perindustrian sedia ada perlu diperbesarkan bagi membolehkan pelabur baharu untuk melabur dalam kawasan perindustrian tersebut pada bila-bila masa sahaja. Usaha berterusan untuk menyedia, membangun, menambah baik infastruktur serta keperluan asas dan meningkatkan keselesaan mereka perlu dilakukan supaya ia menjadi lokasi kerja dan tempat tinggal yang baik untuk mereka malah menjadi lokasi pilihan setelah bersara. Mercu tanda baharu juga boleh difikirkan untuk dibangunkan selaras dengan jolokan yang diberi kepada Terengganu sebagai ‘Kuwait Malaysia’.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu turut bertitah dan menyatakan harapan Baginda untuk Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada penjenamaan Negeri Terengganu sebagai sebuah destinasi ekopelancongan yang lebih kompetitif di rantau ini. Usaha untuk terus menarik pelancong datang ke Negeri Terengganu perlu kita tambah baik dan rancakkan. Promosi perlu terus dipergiatkan sama ada melalui media cetak juga media elektronik dan sosial. Maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negeri ini perlu ditingkatkan. Pelancong yang berkunjung ke negeri ini inginkan keselesaan dan mencari ketenangan, oleh itu Kerajaan dan pihak-pihak yang terlibat wajar memperlengkapkan kemudahan pengangkutan, penginapan serta memajukan bidang komunikasi. Kebersihan dan ketenangan juga boleh menjadi antara sebab pelancong ingin datang dan berulang datang. Ramai pelancong datang ke negeri kita adalah untuk menikmati keindahan pulau, pantai dan ekosistem menarik yang ada. Aspek kebersihan harus menjadi antara fokus yang utama untuk dipertingkatkan. Usaha mendidik dan membudayakan kebersihan perlu terus diambil perhatian serius, layanan istimewa dan mesra juga harus menjadi budaya masyarakat kita. Sebagai langkah permulaan mungkin kita boleh sama-sama mempelajari serba sedikit bahasa asing bagi menyapa pelancong yang berkunjung, juga perlu diberi perhatian. Setidak-tidaknya layanilah pelancong dengan senyuman dan kemesraan. Mungkin tagline yang sinonim dengan Terengganu iaitu ‘Negeri Cantik Budaya Menarik’ boleh ditambah kepada ‘Rakyat Bersih, Negeri Cantik Budaya Menarik’.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, pembinaan Rumah Mampu Milik sebagaimana yang telah dirancang pada tahun ini adalah sebanyak empat projek dan salah satu daripadanya setakat yang dimaklumkan adalah terletak di DUN Kemasik. Adalah saya berbesar hati sebagaimana kehendak rakyat berpendapatan rendah terutama golongan nelayan, petani, penternak serta yang bekerja sendiri agar projek ini dapat dijalankan sebagai mana perancangan. Mereka tiada pilihan lain kecuali memiliki rumah melalui perumahan yang dilaksanakan dengan pinjaman Kerajaan. Pembinaan menerusi pemaju-pemaju perumahan yang mengunakan pinjaman institusi perbankan seperti mustahil untuk mereka kerana ketidaklayakan mereka.
Semoga kita terus mengorak langkah ke hadapan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam membina Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. Saya, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Kemasik, mohon menyokong Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan. Terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Wa’alaikumu salam wa rahmatullah. Terima kasih Wakil Kemasik. Setakat ini tiga Ahli Yang Berhormat daripada Kerajaan telah terlibat dalam perbahasan, saya nak jemput kawan-kawan kita yang sebelah sini, sila. Okey, daripada Hulu Besut.
Bismilahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Pemerhati, hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Syukur kepada Allah kerana dapat bersama lagi di sesi ini dan saya rasa saya di antara ADUN yang lama di dalam Dewan ni, sudah beberapa penggal, saya duduk perhati, bukan saya nak puji tidak, antara Yang di-Pertua yang bagus jugak, Yang di-Pertua ni lah. Yang pertama, saya perhati bila setiap kali Dewan dia buat program, baru ni bowling boleh baju sehelai tapi tidak warna hijaulah tetapi warna koko, lepas itu hari khamis ini bunyi nak menembak pula, bunyi tidak beri baju hijau lagi, beri baju lain, cuma adalah setengah-setengah daripada rakan kita ada yang nak pergi ada yang tidak pergi. Yang di-Pertua Dewan, tidak apalah dia buat program pun, pasal dia sebuah rumah. Yang orang lain, dua buah rumah tak sempat nak buat program ni, jadi saya ucapkan syabas kepada Yang di-Pertua Dewan kita.
Terima kasih Yang Berhormat.
Dan saya harap, rakan-rakan Yang Berhormat pun tak kira yang banyak rumah ke, sibuk ke, kena turut sama sebagai ......
Ramai ke Yang Berhormat yang banyak rumah ni?
Sebagai menghormati Yang di-Pertua Dewan kita yang bagus ini. Bukan saya nak puji, betul ni, bagus. Saya duduk perhati, pasal saya di antara orang lama dan saya tengah perhati sekarang ini. .....(Dewan gelak) .....
Seterusnya, saya juga ingin mengambil peluang untuk nak mengucap, menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan yang sudi untuk memberi Titah Ucapan Perasmian Dewan kita ini. Banyak perkara yang disentuh oleh Tuanku Al-Sultan kita. Dan saya selaku Ahli Dewan yang lama juga, saya duduk perhati juga, sebenarnya ni di antara pada saya, satu sejarah, apabila setiap kali usul kita nak putuskan sama ada setuju atau pun tidak setuju, inilah antara yang semua Ahli Dewan mengangkat tangan. Tak ada yang membangkang. Sebelum ini, cantik, comel setara mana pun, sebelah ni tak angkat tangan. Tak angkat tangan. Tapi kali ini semua angkat tangan. Dan itulah yang saya perhati, hikmah bila berlakunya Pilihan Raya Yang Ke-14 baru–baru ini. Sebab itulah antara soalan saya, yang saya tanya hari mula-mulanya ialah, berapa buah lagikah masjid yang mengadakan solat Jumaat yang tidak mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri. Pada saya selama saya berkhidmat sebagai Wakil Rakyat, saya tak rasa bahagia, tak rasa gembira apabila balik ke kampung, dua tiga masjid, orang-orang kita terpaksa melangkah untuk sembahyang ke masjid yang satu lagi. Itulah rahmatnya bila berlakunya Pilihan Raya Yang Ke-14 baru-baru ini. Dan kita di sebelah sini juga, rasa senang hati apabila diarah oleh Ketua Pembangkang kita kalau nak berucap jangan bercakap yang boleh menimbulkan rasa tak puas hati bagi pihak sebelah Kerajaan. Kena bercakap yang elok-elok dan saya duduk perhati juga, memang orang Barisan memang macam itu, orang UMNO ni memang macam itu, daripada dulu sampai ke hari ini orang UMNO ni memang, itulah gambarannya kita orang Melayu. Mudah bertolak ansur, tak ada masalah, kalau bagi rumah, Rumah PPRT, Wakil Rakyat BN, orang PAS pun dia bagi, orang UMNO pun dia bagi, betul sebelum ni. Betul dok?
Macam nak panas pulak ni …..
Tak, tak, bagusnya orang UMNO ni. Bila ketua kata jangan cakap yang tak elok nanti sebelah Kerajaan marah, tak puas hati memang saya pun, atur cakap ini supaya Ahli-ahli EXCO ke, Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke tak rasa kita ni nak balloh pulak, dok. Cuma, mari rasa juga, bila mengundi untuk dapat keputusan Bajet semua angkat tangan, kita pun angkat tangan dengan harapannya dapat juga, dok? Tak dapat apa pun, tak apa, tak apa. Tak ada masalah. Pasal kita Pembangkang kepada Kerajaan yang ada hari ini, tapi Kerajaan yang ada hari ini, kita juga turut menyokong Kerajaan yang ada pada hari ini. Tapi di sebelah sini tidak dapat apa-apa pun. Tidak apa-apa. Pasal kita ini biasa diasuh, Ahli-ahli UMNO atau Parti Barisan Nasional memang macam itu, tak ada masalah. Dalam pada itu juga, itulah rahmatnya bila berlakunya Piilihan Raya yang ke baru ini.
Di samping itu juga, saya duduk perhati, ada orang kata bila supaya konsep penyatuan ummah ini dijadikan satu gelombang dalam masyarakat kita, yang duduk berbual kedai kopi dia kata puak-puak atas tak apalah pasal dia tak berasa. Hok orang atas-atas, pemimpin-pemimpin atas-atas tak ada masalah dia sebut penyatuan ummah, tak ada masalah. Kita kampung-kampung ini rasa berat, tidak boleh nak terima. Tidak sebenarnya. Di kampung pun boleh menerima penyatuan ummah. Di kawasan saya, Pemuda saya buat Lawatan Kasih rumah ke rumah, Pemuda Harapan kejut, bukan cerita kosong bukan cerita tak betul, cerita betul. Dia buat Lawatan Kasih rumah ke rumah, dia ajak Ketua Pemuda PAS, Ketua Pemuda UMNO dan juga Puteri UMNO dan juga Muslimat PAS untuk berjalan bersama dan ini tandanya bahawa konsep penyatuan ummah ini perlu kita jadikan satu asas untuk kita betul-betul menyatukan semula orang kita. Orang atas tak ada masalah. Orang kampung pun tak ada masalah dah. Boleh terima dah. Kita lupakan masa yang lalu, kita bina bersama untuk masa hadapan yang lebih bersatu lagi.
Mungkin suatu masa di peringkat Negeri juga kena duduk satu meja. Kalau di kampung pun Ketua Pemuda UMNO pun dan Ketua Pemuda PAS pun boleh berjalan bersama dan usaha-usaha yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan pun nampak untuk bersama, anjur boling, anjur menembak dah boleh, apa salahnya Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan panggil Ketua Pembangkang duduk satu meja bincang macamana betul-betul nak bersatu. Ikhlas saya beritahu. Hari ini orang kampung tengok Terengganu ini toksey bersatu lagi. Pusat nak bersatu dah. Di Terengganu tak bersatu-bersatu lagi. Orang UMNO kata, kita nak bersatu, orang PAS toksey bersatu. Ada orang kata orang PAS nak bersatu macam mana kalau dia dah jadi Kerajaan. Bagi dia rugi. Duit ada sepuluh ringgit nak bahagi dengan anak yang satu lagi, rugi. Lebih baik tidak bersatu. Dan mungkin itu juga sebab, mungkinlah Menteri Besar tak panggil Ketua Pembangkang untuk membincang macam mana nak bersatu. Orang UMNO pun malu nak bersatu pasal kita Pembangkang mana boleh kita nak pergi, betul tak? Pada sayalah. Jadi dengan sebab itu kalau ingin melihat kita betul-betul bersatu, maka suatu perbincangan ataupun mesyuarat di peringkat Negeri perlu dibentuk. Tapi ada juga orang UMNO kata tak apa Terengganu ni kalau tak bersatu pun tak apa PAS ni, pasal mengikut sejarahnya PAS di Terengganu cuma satu penggal saja, penggal yang kedua boleh ambil balik. Ada juga. ...(Sambil gelak) .... Betul. Ini sejarah, boleh. Kalau orang PAS tak boleh nak berbaik, tak boleh berbaik tak apa, satu penggal sahaja, kita akan ambil balik.
Penjelasan sikit Yang Berhormat ..…
Itu saya kata betul ..…
Boleh ya, bagi laluan. Sila.
Terima kasih Hulu Besut. Tuan Yang di-Pertua, saya suka untuk mencelah sedikit bukan nak ganggu sebab untuk bersatu ini kita tidak kacaulah, saya tengok macam mesyuarat agung pula antara PAS dengan UMNO, apabila duk sebut PAS-UMNO, PAS-UMNO ini, jadi boleh ataupun tidak, kalau boleh yang ni serah kepada peringkat kepimpinan parti masing-masing untuk membahaskan perkara ini dan kita fokus isu-isu Negeri apa yang kita hendak bawa, apa yang kita nak tegur pun tidak apa. Pada kita Kerajaan bukan tak mahu panas, hendak panas pun tiada masalah sebab dalam Dewan jer, lepas tubik nanti kita keluar minum air sama juga. Jadi harap tidak itu sangatlah PAS-UMNO ni, takut rimas penonton-penonton kita.
Saya sebut pasal Tuanku Al-Sultan pun sebut, tidak kira parti mana-mana ingin melihat Negeri Terengganu ini membangun. Dalam Negara kita asas utama untuk bangunkan Negeri kita ialah mesti rakyatnya bersatu padu, bukan perkara main-main, bukan perkara PAS-UMNO, bukan soal rimas tidak rimas, ini perkara sangat penting. ‘Bersatu kita kukuh, bercerai kita roboh’, itu pesan orang tua bukan benda main-main. Sebab itu saya sebut soal bersatu, bukan saya sebutnya kerana bukan kerana sebelah sini, bila diarah supaya cakap baik, cakap baik, bila sebelah sini diarah apa yang dikehendaki untuk meluluskan sesuatu usul kena angkat tangan semua, bukan. Tapi kita betul-betul ingin melihat perpaduan di dalam masyarakat ini betul-betul menjadi realiti, kerana saya banyak pengalaman.
Masa Yang Berhormat ada dua minit lebih lagi ya.
Dua minit.
Ya, sila.
Banyak pengalaman dalam Dewan ini, dalam masyarakat, dalam Dewan. Asasnya di peringkat inilah, di peringkat kepimpinan inilah, kalau di peringkat ini boleh duduk satu meja, saya percaya kita akan dapat melihat masyarakat kita bekerja dalam satu pasukan. Kalau Kerajaan kata kita nak Negeri kita bersih, bila kita bersatu orang PAS pun mungkin boleh duduk satu padang dengan UMNO dengan parti-parti lain untuk melihat Negeri kita ini bersih. Itulah pentingnya bersatu. Kalau tidak bersatu, kalau Kerajaan kata kita kena jaga kebersihan Negeri kita, orang UMNO kata biar PAS moga dia Kerajaan. Dulu orang UMNO yang bersih sahaja, biarlah sahaja Kerajaan, orang PAS tidak cara pun, tidak pernah ikut serta pun untuk melihat Negeri kita bersih. Itulah contohnya pentingnya bersatu. Jadi dengan sebab itu saya ingin mengambil peluang di sini, di hadapan Yang di-Pertua Dewan, saya rasa juga berpengalaman lebih kurang saya juga rasanya, kita sama-sama menjadikan bersatu ini menjadi realiti di dalam masyarakat kita di Terengganu, bila kita kuat, insya-Allah kita boleh bangunkan Negeri kita ini bersama-sama.
Akhir sekali saya juga nak ambil peluang di sini di dalam Dewan yang mulia ini, kawasan saya yang saya wakili sudah beberapa kali tapi banyak lagi benda yang tak boleh ditunaikan antaranya masjidlah, saya kalau boleh dalam masa sepenggal ni, empat tahun ini, boleh satu masjid pun tak apa dah. Pasal saya pun sedar kita di Terengganu, sumber agak terhad, jadi dengan sebab itu, saya ingin memohon jasa baik Kerajaan Negeri, paling-paling kurang pun dapat satu masjid okey dah kawasan saya itu di Kampung Kubang Depu. Tanah telah diambil siap tambun cuma tunggu masa untuk buat sahaja.
Itulah antara yang saya harapkan selaku Wakil rakyat di kawasan Hulu Besut. Insya-Allah kalau bersatu ini boleh kita sama jadikan, saya di Hulu Besut akan gerakkan supaya kita di Hulu Besut ini, PAS ke dengan UMNO boleh jalan dalam satu pasukan.
Saya juga ingin memohon salah dan silap sekiranya ada yang tidak kena Yang di-Pertua, saya pohon maaf. Saya juga turut menyokong Titah Ucapan. Sekian, Wassalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Terima kasih pada Yang Berhormat Wakil Hulu Besut, menepati masa yang telah diperuntukkan. Insya-Allah apa Yang Berhormat sebut tadi kita akan panjangkan di tempat yang lebih sesuai.
Ahli Yang Berhormat sekalian saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 2.30 petang.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 1.05 TENGAH HARI.
PUKUL 2.30 PETANG
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Mesyuarat disambung semula. Ahli Yang Berhormat sekalian, kita teruskan Usul Perbahasan Menjunjung Kasih Di Atas Titah Ucapan Diraja, cuma saya hendak peringatkan kepada Yang Berhormat, masalah ketepatan masalah, sebab pagi tadi kita sudah ambil masa banyak untuk bergambar, cuma hendak masuk balik itu, makan masa juga. Jadi daripada jumlah yang saya rancang yang sepatutnya berucap, sudah lari dah, sebab itu saya hendak minta pada petang ni masing-masing jaga masa sebagaimana yang diperuntukan. Saya persilakan Yang Berhormat daripada Ajil untuk memulakan perbahasan Titah Ucapan Diraja pada petang ini, dipersilakan.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil ‘alamin. Assalatu wassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Amma ba’d. Terima kasih kepada Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kerajaan dan para Pemerhati.
Pertamanya, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana diberi kesempatan untuk kita berbahas dan meneruskan agenda pada petang yang mungkin ramai yang mengantuk, makan kenyang-kenyang, petang-petang ini biasa begitulah dok? Walau bagaimanapun, insya-Allah dan alhamdulillah kita dapat meneruskan agenda kita dan saya ucapkan terima kasih kepada yang hadir, cuma Pembangkang tiada seorang lagi. Walau bagaimanapun, kita teruskanlah.
Dan yang pertama sekali saya hendak merakamkan penghargaan sebagai suatu sambungan daripada apa yang disebut oleh Y.B. Hulu Besut tadi, satu penghargaan kepada Speaker, Yang di-Pertua Dewan di atas beberapa pembaharuan yang telah dilakukan. Pembaharuan pada kali ini ada laptop atas meja kita masing-masing. Cuma sedih jugalah, tidak boleh buat balik, tapi insya-Allah sidang Dewan akan datang ini berlaku satu pembaharuan boleh buat balik, Insya-Allah. ....(Dewan gelak) ....
Saya tidak janji Yang Berhormat tu.
Saya harap. ....(Sambil gelak) ..... Cadangan, ramai sokong ni. Yang di-Pertua, saya ingin menarik satu perkara yang ada dalam Titah Ucapan Sultan kelmarin berkenaan dengan wujudnya pihak-pihak tertentu yang dalam Titah Ucapan Baginda di muka surat lima, para yang kedua, wujud pihak-pihak tertentu yang cuba menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan yang terbina sekian lama di bumi Malaysia ini. Antara yang disebut oleh Baginda, wujudnya pihak yang cuba menyentuh kesucian Islam, memperlekeh Institusi Diraja dan juga menghina Islam itu sendiri sebagaimana juga yang berlaku dalam masyarakat kita baru ini, apabila ada seorang pemuda yang menghina Rasulullah melalui karikatur yang kita kira satu tindakan yang agak melampau. Walaupun di Terengganu, isu-isu ini masih lagi terkawal, tetapi ia perlu kepada komitmen semua pihak untuk cuba membendung supaya tidak menular. Kerana apabila dia menular, maka sudah pastilah ancaman ini akan menjadi satu gelombang yang besar, yang boleh membahayakan kepada kita semua khususnya orang-orang Melayu Islam.
Kita melihat ancaman ini datang daripada luar. Tetapi tempiasnya, ataupun ngecik, orang kata ngecik. Ngecik tu tetaplah mari kepada kita apabila baru ini dalam di Mahkamah Syariah dilaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah lesbian, pun juga ada pihak untuk campur tangan untuk menggugat kestabilan dan kesucian Mahkamah Syariah. Dan sesuatu yang kita harus sedar bahawa institusi yang memelihara agama kita iaitu Institusi Diraja, juga cuba diperlekehkan sebagaimana yang disebut oleh Baginda Sultan dan saya rasa kita orang Melayu menyedari bahawa Institusi Diraja ini merupakan di antara benteng yang terakhir untuk menjadi penyelamat kepada kesucian Islam dan juga ketuanan Melayu. Jadi kalau kita tidak menjaganya daripada serangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, penduduk Malaysia, rakyat Malaysia, tetapi mereka nampak semacam cuba untuk merobek ketenangan yang ada dalam masyarakat ini. Sementelah pula kebanyakannya melalui landasan politik baru di peringkat pusat sekarang ini, kita melihat satu perkembangan yang membimbangkan apabila cubaan-cubaan untuk menghina dan mengkritik isu-isu yang sensitif dalam masyarakat kita Malaysia, cuba untuk diketengahkan berkemungkinan sebagai satu testing dengan izin, hendak test, ataupun hendak tengok sejauh mana orang Melayu peka dengan isu yang mereka cuba robek-robekkan. Jadi, Islam sebenarnya tidak pernah menyekat kebebasan beragama. Sepatutnya masyarakat khususnya masyarakat Cina dan India, kita sebenarnya kita tidak memusuhi dari segi bangsa kita tidak bermusuh sama ada dalam parti Barisan Nasional yang selama ini memang bersama dengan India dan Cina, MCA, MIC, dalam PAS sendiripun kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS, satu-satunya parti Islam di dunia ini yang ada sayap kirinya yang terdiri daripada orang bukan Islam yang menjadi penyokong kepada kita. Dan di Ajil baru ini, saya buat satu majlis, meraikan orang Cina sempena dengan Tahun Baru Cina. Bermakna kita tidak memusuhi mereka sama ada di sudut bangsa ataupun di sudut agama. Mereka bebas untuk mengamalkan agama masing-masing dalam kondisi yang tersendiri dan kita tidak pernah mengacau. Tetapi sekarang ini kita nampak apabila mereka cuba menghina Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, maka kita sepatutnya mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa benda ini, perkara ini kita tidak boleh biarkan berlalu sebegitu rupa, bimbang, takut mereka ni orang kata kalau ayat-ayat kasar sikit gak, naik tocang. Haa, naik tocang. Jadi kalau kita tidak bertindak ataupun kita tidak tunjukkan respon kita apabila mereka menghina Rasulullah, menghina Islam, maka kita bimbang takut dia jadi suatu isu yang menular, yang akhirnya kita bimbang lagi kalau sekiranya kita akan berada di bawah, mereka mempunyai kuasa yang boleh, kemungkinan-kemungkinan yang berlaku di negara-negara luar akan berlaku kepada negara kita.
Kemudian perkara kedua, saya nak ucap tahniah dan penghargaan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sebagai suatu sambungan daripada apa yang disebut oleh Y.B. Buluh Gading tadi, mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Pengarah dia pun ada hari ni dan juga Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu di atas kejayaan cemerlang pelajar-pelajar Terengganu dalam SPM dan STPM baru-baru ini. Suatu kesinambungan daripada kecemerlangan-kecemerlangan lalu dan ini merupakan satu daripada penunjuk bahawa rakyat Terengganu yang mungkin makan budu, makan belacan menjadi orang yang mempunyai IQ yang excellent bahkan sekolah kita, Sekolah Imtiaz menjadi contoh dan model kepada orang luar daripada Terengganu seperti yang ada di Melaka, mereka tubuh sebuah sekolah yang modelnya sama macam Imtiaz di Terengganu dengan nama pun Imtiaz juga. Cuma kita mengharapkan dengan konsep dan juga hala tuju yang ada sekarang ni, pendidikan tidak berasaskan kepada sijil semata-mata apabila ada PBD (Penilaian Bilik Darjah) maka walaupun kalau sekiranya kemungkinan kita tidak berjaya di sudut sijil tetapi yang penting sekali ialah kemenjadian anak murid kita menjadi orang yang boleh dimanfaatkan oleh semua sektor dan teknologi. Tetapi apatah lagi kalau sekiranya kita berjaya di dua-dua unsur, sijil kita cemerlang, keperibadian dan sahsiah pelajar kita pun cemerlang. Dengan adanya Sekolah-sekolah Agama yang sudah pun mendapat nama bukan sahaja di peringkat negeri, bukan sahaja di peringkat kebangsaan bahkan di peringkat antarabangsa. Kalau Sekolah-sekolah Imtiaz dan juga Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Batu Burok, memang sekolah yang ternama di peringkat antara bangsa yang selalu mencipta nama mendapat anugerah-anugerah yang cemerlang di peringkat antarabangsa dan dunia dan ini merupakan satu produk yang seharusnya kita bangga bahawa anak-anak murid kita di Terengganu mempunyai kehebatan bukan sahaja dari sudut akademik bahkan di sudut pemikiran mereka untuk mencipta teknologi-teknologi baru melalui reka cipta dalam STEM, School Arrangement Model dan sebagainya.
Dan perkara ketiga, saya mengejar masa sikit. Perkara ketiga yang saya nak sebut ialah berkenaan dengan harapan daripada Tuanku Sultan, mengharapkan pembangunan yang seimbang di antara daerah-daerah dan Tuanku ada sebut tiga daerah yang mungkin terkebelakang sedikit iaitu Daerah Besut, Setiu dan daerah saya Hulu Terengganu. Hulu Terengganu memang terkenal dengan daerah pertanian sama macam Setiu dan satu lagi produk yang kayanya ialah di Hulu Terengganu, produk pelancongan. Kita mengharapkan Exco Pelancongan dan Exco Pertanian akan memberi fokus yang tersendiri kepada Hulu Terengganu dan keperluan kepada pekerjaan. Keperluan kepada pekerjaan, rakyat nak kerja, jadi kita mengharapkan fokus kerajaan kepada daerah-daerah ini memberi satu, beberapa projek ataupun perancangan untuk menghidupkan institusi ataupun agensi dan yang boleh membekalkan pekerjaanlah.
Dan baru ni pada 25 haribulan Mac, saya selaku Pengerusi PPSB (Permint Plywood Sdn. Bhd.) telah menandatangani satu perjanjian dengan Gimzan Plywood untuk menggunakan Kilang Gimzan Plywood untuk suatu tambahan operasi menerbitkan ataupun mengeluarkan Vinyl Plywood dan di situ, alhamdulillah kita dapat menambahkan lagi pekerjaan dan saya mengharapkan GLC yang ada mungkin boleh tumpukan ke daerah-daerah yang seperti yang saya sebut tadilah Daerah Hulu Terengganu kalau di Ajil tu, boleh kata takdok GLC kecuali sebahagian kecil daripada kilang ladang TDM yang ada di Ajil yang boleh membekalkan pekerjaan kepada penduduk kita.
Dan baru-baru ni juga pada 27 dan 28 saya telah meninjau Ladang Penternakan Rusa di Lenggong bersama dengan Pesuruhjaya PAS Perak dan insya-Allah selepas ni saya akan bersama dengan Exco Pertanian, sebagaimana yang kami janjikan kita akan pergi melihat, meninjau untuk bawa balik teknologi pemeliharaan, penternakan rusa ke Hulu Terengganu dan saya menaruh harapan yang sangat tinggilah kalau sekiranya Kerajaan boleh bantu untuk mencipta satu produk baru di Ajil sebagai satu daripada daya tarikan baru lokasi penternakan rusa yang terbesar di Terengganu, insya-Allah.
Jaga masa Yang Berhormat, ya.
Ya?
Masa ada lagi, saya peringatkan saja.
Secara rumusannya ada beberapa perkara lagi tapi oleh kerana masa ni sangat cemburu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan dan terima kasih jugalah kepada pihak nak sebut Pembangkang rasa dok tergamok. Sebab saya sebenarnya takdok pengalaman dengan Sidang dulu sebab saya orang baru dalam politik ni. Tapi kalau dengar cerita dulu gak, memang kuat sangatlah bangkang. Mungkin dulu banyak isu yang patut dibangkang, tapi sekarang ni oleh kerana tak ada isu nak bangkang jadi sama-sama pakat senyap belaka smooth molek, selesa dan tenteram. Terima kasih kepada semua. Wallahu a’lam. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada Wakil Ajil. Sebelum saya meneruskan perbahasan Titah Ucapan Diraja, saya nak tahu berapa ramai lagi yang nak berucap? Okey. Saya persilakan Wakil Wanita dulu.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin. Wassolatu wassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, Pemerhati serta hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya dalam sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Tuanku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu Kali Keempat Belas, Penggal Kedua. Memandangkan ini merupakan ucapan sulung ADUN Wanita di dalam Dewan yang mulia ini, izinkan saya menyampaikan setinggi penghargaan pada semua kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah memberi kepercayaan untuk diadakan posisi ADUN Wanita dan melantik saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri mewakili Wanita. Alhamdulillah, sepanjang, sepanjang empat bulan ini saya mendapat sokongan dan dokongan daripada semua pihak termasuklah EXCO Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan dalam merangka dan melaksanakan pelbagai agenda dan program ADUN Wanita. Terima kasih saya ucapkan.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, dengan kewujudan posisi ADUN Wanita ini menunjukkan Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar, sedar akan kepentingan dan peranan kaum hawa dalam kepimpinan sehingga mengangkat martabat wanita untuk sama-sama kita menyumbang idea ke arah Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. Insya-Allah kehadiran ADUN Wanita di sini bukan sahaja membangkitkan isu-isu berkaitan wanita semata-mata tapi akan turut mengketengahkan apa jua isu yang dilihat relevan dari sudut pandang kami sebagai seorang wanita yang juga bergelar sebagai ibu, anak, isteri dan juga rakyat Terengganu.
Wanita hari ini bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran, pekerjaan, kepimpinan dan sebagainya. Kita boleh ambil contoh sahabat saya daripada Ahli Parlimen, contohnya Ahli Parlimen Rantau Panjang, Yang Berhormat Puan Hajah Siti Zailah yang sanggup mengharungi banjir bergadai nyawa untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir tanpa mengira bahaya dan risiko. Begitu juga sahabat-sahabat saya peranan yang besar dimainkan contohnya daripada Yang Berhormat Hajah Mumtaz Nawi yang juga merupakan ADUN Demik dan juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berhormat Puan Hajah Rohani Ibrahim daripada ADUN Tanjung Mas, Kelantan dan juga Yang Berhormat Datuk Siti Aisyah Razali, ADUN Merbau Pulas, Kedah. Sesungguhnya dengan izin Allah Subnahu Wata’ala tangan lembut yang menghayun buaian mampu menggegar Sidang DUN Terengganu, insya-Allah.
Yang Berhormat Tuan Yang Di-Pertua, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk wanita Terengganu berjumlah 602,400 orang bagi tahun 2018 ini. Ia meningkat berbanding 561,600 orang pada tahun 2017. Pertambahan bilangan wanita di Terengganu mewujudkan kepelbagaian sosio budaya dan kehidupan semakin mencabar. Insya-Allah ADUN Wanita sebagai pemudah cara ataupun intermideator dengan izin, antara rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu khususnya dalam segmen tertentu tanpa mengira fahaman politik kepartian seiring dengan Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin semalam. Sebagai contoh hampir setiap hari saya berjumpa dengan pelbagai individu dan pertubuhan-pertubuhan seperti Kelab Sokongan Kanser Payu Dara Terengganu, Persatuan Ibu-Ibu Tunggal, Persatuan OKU, kakitangan Kerajaan, para usahawan wanita dan lain-lain lagi dan mereka menyatakan hasrat dan juga melontarkan komentar cadangan kepada kepimpinan Kerajaan. Ini amat membantu saya mendapatkan input-input sewajarnya untuk disalurkan kepada Kerajaan.
Suka saya berkongsi dalam Sidang Dewan yang mulia ini semasa pertemuan saya bersama dengan penjawat awam Kerajaan baru-baru ini mereka telah mencadangkan agar diwujudkan jawatan khas iaitu pemandu wanita di agensi Kerajaan. Kadang-kala pegawai wanita terpaksa melakukan perjalanan jauh demi tugasan seperti mesyuarat, program rasmi dan sebagainya. Jadi sebagai seorang ibu berkerjaya, mereka mungkin terpaksa menyediakan stok susu perahan buat bayi mereka atau kadang-kadang terlena kepenatan dalam kenderaan. Ini agak kurang selesa jika pemandu adalah daripada kaum lelaki. Justeru, saya ingin mencadangkan agar beberapa ruang pekerjaan dibuka kepada wanita bagi menjamin keselesaan agar lebih memelihara keadaan seperti jawatan pemandu wanita itu. Raikan fitrah wanita sebagai pekerja, ibu dan juga muslimah, insya-Allah. Begitu juga saya pernah didatangi atau dikunjungi oleh kumpulan daripada orang-orang OKU yang memohon agar disampaikan suara dan keperluan mereka agar bangunan atau infrastruktur lebih mesra OKU.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu atas pengumuman Bajet 2019 yang banyak menimbulkan reaksi positif daripada Tuanku Al-Sultan semalam. Terima kasih buat kepimpinan Negeri Terengganu kerana tidak meminggirkan wanita dalam Bajet 2019. Peruntukan khas sebanyak RM2 juta dan Tabung Siti Khadijah bakal membantu golongan wanita dan ibu tunggal meningkatkan ekonomi melalui perniagaan dan keusahawanan. Begitu juga dengan kebajikan anak-anak dari penceraian keluarga juga diambil kira dengan peruntukan RM1 juta melalui Tabung Hadhanah. Saya tidak menafikan kadang-kadang terdapat juga Bajet Khas pada wanita saya nampak dalam Bajet 2019 tidaklah terlalu besar. Tapi saya percaya semua elemen dalam Bajet 2019 ini dapat dinikmati oleh wanita secara tidak langsung. Namun saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini tentang penaiktarafan Dewan dan Pusat Rekreasi Khas Mesra Muslimat atau mesra wanita ini yang telah dibentangkan dalam Bajet 2019 yang lalu. Ia telah mendapat reaksi yang sangat positif daripada masyarakat khususnya wanita. Saya memohon kepada pihak Kerajaan agar ia disegerakan. Ini merupakan Soalan Lisan saya tapi Soalan Lisan telah ditolak. Saya pun tidak pasti kenapa soalan ini ditolak.
Suka saya ingin mencadangkan supaya program yang lain juga diberi kuota khas kepada wanita sememangnya memandangkan kami dalam program yang wajar dibela wanita harus mendapat tempat sewajarnya termasuk dari kalangan beliawanis, orang kelainan upaya, golongan gadis remaja dan juga kanak-kanak. Harapan kami juga agar bajet ini tidaklah sekadar cantik ditangkap di atas kertas dan manis hanya di bibir tanpa perasaan yang cekap di peringkat jabatan dan agensi Kerajaan. Dan yang paling penting sebenarnya rakyat seluruhnya perlu bersama-sama berganding bahu dalam menterjemahkan hasrat ini dengan penuh iltizam.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, umum mengetahui bahawa tema Negeri Terengganu ialah Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera manakala tema Bajet 2019 pula adalah Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera. Namun apakah definisi sebenar sejahtera kepada rakyat Terengganu dalam erti kata yang komprehensif. Adakah semua golongan dapat menikmati kesejahteraan ini? Ini adalah tugas berat kita sama ada kita di peringkat legislatif mahupun eksekutif.
Dan kini suka saya ingin berkongsi dengan Dewan yang mulai ini, tadi saya baru dapat jawapan dari soalan-soalan yang bertulis ada yang menyatakan bahawa keganasan rumah tangga agak membimbangkan. Mengikut laporan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan jumlah kes keganasan rumah tangga Negeri Terengganu pada tahun 2018 adalah sebanyak 254 kes. Pecahan mengikut daerah adalah Daerah Kuala Terengganu sebanyak 85 kes, Dungun - 53 kes, Hulu Terengganu - 36 kes, Besut - 28 kes, Kemaman - 21 kes, Setiu - 18 kes dan Marang - 17 kes. Kami wanita memandang serius tentang isu-isu keganasan rumah tangga kerana mangsa iaitu wanita sering berdiam diri atau lambat mengambil tindakan apabila didera. Ini wajar diambil perhatian dan tindakan bersama, insya-Allah. Saya juga saya sebenarnya ingin memuji tindakan pihak Polis Daerah Kemaman dalam menangani isu rempit apabila diuar-uarkan dalam media sosial juga media cetak, operasi bersepadu yang dijalankan pada baru-baru ini para remaja dibawa ke masjid untuk Solat Subuh Berjemaah dan membaca Surah Yaasin, satu pendekatan yang sangat baik. Apa yang ingin saya sampaikan di sini supaya peranan Kerajaan, agensi dan pasukan Keselamatan termasuklah NGO dan masyarakat boleh disenergikan untuk mencapai kaedah peyelesaian yang holistik jangka masa panjang dan jangka masa pendek, insya-Allah.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengutarakan beberapa perkara. Pertama, saya amat bimbang terhadap kesedaran rakyat Terengganu tentang kebersihan. Kadangkala budaya tidak sihat ini menjadi bahan jenaka atau troll dengan izin, di kalangan netizen apabila tempat tumpuan pelancong dicemari sampah sekaligus mencemarkan nama baik negeri ini. Kebanyakan sampah pula, terdiri daripada bahan tidak mudah diurai biodegradasi seperti plastik dan polisterin. Jika tidak diuruskan dengan baik, memberi kesan buruk kepada alam sekitar jangka masa panjang. Tambahan pula, Negeri Terengganu merupakan negeri pesisir pantai dan sampah ini boleh mencemari laut yang boleh menjejaskan habitat ikan dan hidupan akuatik.
Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar, University of Georgia, Janelle Jamback pernah membuat kajian, Malaysia merupakan negara kelapan pencemaran plastik di lautan dan ini dikuatiri boleh menjejaskan industri perikanan yang menjadi salah satu sumber rezeki rakyat di Terengganu ini. Jika tidak dibendung dengan segera, kerajaan terpaksa berbelanja jumlah peruntukan yang sangat besar untuk menguruskan sisa bahan pepejal dan sampah domestik ini. Sedangkan wang rakyat ini dapat dijimatkan untuk perkara lebih utama ‘mencegah lebih baik daripada merawat atau mengubati’. Itu yang pertama.
Yang kedua, saya suka menyentuh isu perumahan. Tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah mensasarkan untuk membina 20,000 Rumah Mampu Milik dalam jangka masa 5 tahun dan turut mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu dan Titah Ucapan semalam. Saya percaya Kerajaan Terengganu sentiasa berusaha keras bagi mencapai sasaran ini. Harapan saya, agar terus diberi peluang yang adil dan saksama kepada pemohon. Saya ingin mencadangkan agar Jawatankuasa Pemilihan lebih telus dan berintegriti dalam pemilihan permohonan Rumah Mampu Milik ini dan memberi keutamaan kepada ibu-ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak yang ramai.
Yang ketiga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana berjaya meningkatkan jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan pada tahun 2018 kepada RM4.9 bilion seperti dilaporkan semasa kunjungan Yang Berhormat Datuk Ignatius Dorell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke Pejabat Menteri Besar baru-baru ini. Jumlah ini meningkat berkali ganda dari angka RM73.1 juta pada tahun 2017. Saya difahamkan ia berpotensi memberi peluang pekerjaan sebanyak 2,000 pekerjaan mulai 11 projek. Besar harapan saya supaya keutamaan pekerjaan ini dibuka kepada rakyat Terengganu khususnya dan saya juga amat berbesar hati jika wanita anak Terengganu turut diberi peluang dengan kuota khas iaitu melalui dengan beliawanis.
Dan yang keempat, Terengganu terkenal dengan perkembangan Institusi Pendidikan Islam bermula dari pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Sejarah telah membuktikan Pusat Pengajian Islam telah wujud bermula pada abad ke-16 masihi dan terus berkembang pada abad 20 masihi hingga ke hari ini. Jika sebelum ini kebanyakan pusat pendidikan ini diuruskan dan dibiayai hasil derma dan sumbangan orang ramai yang amat terhad dan saya ingin mencadangkan peruntukan RM3 juta yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri berkenaan bantuan berkapita kepada institusi Pendidikan Islam persendirian dimanfaatkan sepenuhnya. Ini termasuklah, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang sekarang ini menjadi pilihan kepada ibu bapa di Terengganu untuk menghantar anak-anak mereka diperingkat pra-sekolah kerana sistem pembelajaran yang komprehensif antara dunia dan ukhrawi dalam membentuk sahsiah dan keperibadian anak-anak.
Yang Berhormat Tuan di-Pertua, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tugas sebagai ADUN Wanita ini. Dan sebagai akhirnya, semoga segala gerak kerja pentadbiran sentiasa cekap dan telus dengan perdayakan budaya politik matang dan sejahtera di bawah naungan…
Yang di-Pertua Speaker mohon laluan.
Ya, bagi laluan dok ADUN Wanita? Ada pencelahan, boleh?
Boleh.
Sila.
Mintak penjelasan sedikit berkenaan dengan pra-sekolah tu, institusi mana yang paling berpengaruh di Negeri Terengganu.
Terima kasih kepada Wakil Pengkalan Berangan. Seperti yang saya maklumkan tadi, jelas menunjukkan bahawa pada hari ini, mengikut pemantauan saya bersama dengan masyarakat khususnya golongan wanita di Negeri Terengganu memilih Pusat Asuhan Tunas Islam iaitu (PASTI) menjadi pilihan utama ibu bapa di Terengganu. Tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan yang mengangkat pra-sekolah sampai di tahap yang menjadi orang kata sentiasa menjadi suara, menjadi ingatan kepada wanita-wanita, ibu-ibu di Terengganu, insya-Allah.
Akhir kata izinkan saya akhiri dengan serangkap pantun:
Guaner gamok orang kite,
Minum teh cicoh kayu kamak,
Pakat menuju Terengganu Sejahtera,
ADUN Wanita sedia berkhidmat.
Salam perkenalan dari saya Zuraida binti Md. Noor, ADUN Wanita Terengganu, Maju, Sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua, dengan lafaz rafak dan takzim, saya menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Wanita mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih ADUN Wanita, yang saya kira ini merupakan ucapan sulong beliau dalam Sidang Dewan Undangan Negeri. Tadi saya nampak, kebanyakan Yang Berhormat mengantuk belaka, apabila Yang Berhormat ADUN Wanita berucap nampak segar belaka. Nampak kita perlu ramai lagi ADUN Wanita insya-Allah pada masa akan datang. Okey, saya nak jemput kawan-kawan kita sebelah sini pula berucap. Sila.
Kita pagi tadi kita banyak missed jadi sepatutnya lebih ramai pagi tadi. Jadi saya rasa kalau dia tak cepat, ramai ketinggalan untuk berucap sebenarnya. Jadi ambil peluang. Sila.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sila wakil daripada Kuala Besut.
Saya start semula. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang di-Pertua. Bismillahilazi laa yaduru ma’asmihi syaiun fil ardi wa la fis samaie wahuwas sami’ul ‘alim. Rabisy rahli sadri wayasirli amri wahlul ukhdatan minlisani yafkahu qauli. Amin.
Yang Berhormat Menteri Besar, barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para Pemerhati dan seterusnya tuan-tuan Sidang Dewan yang saya hormati sekalian.
Terutamanya, alhamdulillah dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi izin kepada saya untuk bersama-sama di waktu petang ni untuk kita mengambil bahagian dalam perbahasan bagi kita membahaskan Titah Ucapan Diraja Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu kelmarin. Saya tengok pada buku teks ucapan ni berjumlah 29 helaian yang mana telah dititahkan oleh Kebawah Duli Tuanku supaya kita sama-sama hayati dan juga kita laksanakan dengan sebaik mungkin.
Dan saya juga sepertimana rakan-rakan yang mana disebut oleh Yang Berhormat Hulu Besut tadi. Kita pun nak cakap banyak-banyak pun jadi macam sakkok jugok. Tapi disebabkan tugas kita di sebelah ni sebagai Pembangkang, kita juga diminta oleh rakyat di bawah sana sebagai orang putih kata check and balance dok? Apa jua tindakan yang dibuat oleh pihak Kerajaan supaya akhirnya supaya natijahnya,
supaya keputusannya dapat dicapai sebaik mungkin khususnya kepada rakyat di bawah sana supaya apa jua tindakan, dasar-dasar yang kita putuskan di peringkat Dewan dan juga apa juga peraturan yang kita putuskan, yang kita bahaskan di peringkat Dewan Undangan ini dapat memberi kelebihan dan juga kesenangan demi kepentingan stake holders dengan izin, khususnya pemegang taruh, khususnya para rakyat jelata di Negeri Terengganu.
Jadi, saya pun tak cadang hendak cakap panjang, cuma saya nak sentuh beberapa perkara-perkara yang dititahkan oleh Kebawah Duli Tuanku, iaitu yang pertama, merujuk kepada muka surat 6, Buku Titah Diraja tersebut. Tuanku ada menyatakan bahawa KDNK yang dicapai pada tahun 2018 berjumlah 5.0% adalah lebih rendah daripada KDNK yang dicapai pada tahun sebelum itu iaitu tahun 2017 yang mana pada tahun 2017 adalah sebanyak 5.9 %. Kita semua sedia maklum bahawa dalam kesuraman ekonomi yang kita hadapi bukan saja di peringkat global tapi juga di peringkat Pusat yang mana rata-rata kita dengar keluhan daripada orang kampung, peniaga dan apatah lagi kita di Kuala Besut, apabila kita merujuk kepada pengusaha-pengusaha chalet, resort di pulau-pulau khususnya. Di Kuala Besut, kita ada Pulau Perhentian, pengusaha chalet dan juga resort di Pulau Perhentian menyatakan keluhan mereka bahawa tahun ini, cuti sekolah minggu lepas, sekala-sekala gok, kalau tahun-tahun lepas juga, memang penuh sampaikan kena camping di atas pasir tepi pantai. Tapi, pada tahun ini, jumlah booking, jumlah yang diminta oleh pelanggan-pelanggan adalah berkurangan daripada tahun-tahun terdahulu. Jadi ....
Celahan sikit.
Silakan Yang Berhormat.
Ya, sila.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, ada fakta ke itu? Saya rasa yang saya kena dulu, gini juga, tak ada fakta juga ini.
Okey, terima kasih. Tak apa, nanti Exco jawab jerlah.
Masa ucapan tu, kena ada sekali dengan fakta, baru betul. Kalau tak, tak payah sebutlah.
Merujuk kepada Indeks Bursa Saham, kita berdasarkan antara indicator ekonomi yang ada pada masa ini. Pada tahun lepas, pada bulan dua tahun lepas, disasarkan Indeks Mata Bursa Saham pada awal tahun lepas iaitu sebanyak 1,796.81 mata dan dijangka naik pada 2,000 mata pada tahun lepas. Tapi, perkara ini tidak berlaku dan pada hari ini sehingga ke sekarang ini kalau Manir boleh buka indeks saham pun hari ini pada masa lening ini adalah mencatat paras yang agak rendah di peringkat Asia, hari ini saja mencatat 1,634.15 mata. Itu juga salah satu indicator menunjukkan bahawa ekonomi kita adalah berada pada keadaan yang sangat suram. Jadi, kita nak tahulah, rakyat pun nak tahu, rakyat Terengganu nak tahu, rakyat Kuala Besut pun nak tahu, apakah strategi, apakah kaedah-kaedah di peringkat Kerajaan Negeri, apakah penyelesaian di peringkat Kerajaan Negeri untuk kita meningkatkan lagi kadar KDNK daripada tahun 2017 sebanyak 5.9% tiba-tiba 2018, turun kepada 5.0%. Tahun 2019 diharapkan akan berlaku satu lonjakan dan kita nak tahu apakah strategi di peringkat Kerajaan supaya memberi berita gembira supaya aliran ekonomi dan juga limpahan ekonomi itu dapat berlaku di peringkat negeri kita khususnya kepada rakyat kita.
Perkara yang kedua, Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh tentang yang dititahkan oleh Kebawah Duli Tuanku dalam muka surat 12. Merujuk Buku Titah ini, iaitu antara yang dinyatakan iaitu tentang pembangunan yang ditekankan oleh Tuanku iaitu pembangunan yang seimbang antara daerah hendaklah diberi penekanan khususnya melibatkan daerah-daerah seperti Setiu, Hulu Terengganu dan juga Besut. Jadi, kita khususnya rakyat di Besut secara khususnya nak tahu juga apakah Kerajaan akan membuat satu program, ataupun apakah perancangan di pihak Kerajaan supaya suntikan pembangunan yang baru yang ditekankan oleh Kebawah Duli Tuanku untuk pembangunan di tiga daerah yang seperti disebutkan dalam Buku Titah tersebut.
Perkara yang ketiga, Tuan Yang di-Pertua yang saya ingin tekankan juga iaitu berkenaan aktiviti dan juga perancangan pelancongan ataupun program-program pelancongan yang akan kita perkasakan lagi di peringkat Negeri Terengganu kerana saya difahamkan di Negeri Terengganu kita juga ada program menyertai program yang dipanggil East Coast Tourism Corridor Lab and Summit dengan izin, ataupun Koridor Pelancongan Pantai Timur yang mana melibatkan kerjasama jalinan, kerjasama antara Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang termasuklah rakan kita di Johor. Dan difahamkan pelbagai mesyuarat, pelbagai makmal, pelbagai program yang telah diatur dan disusun sebegitu rupa, jadi kita ingin tahu apakah perkembangan terkini khususnya untuk makluman penggiat-penggiat ataupun tourism player yang terlibat dalam aktiviti pelancongan di Terengganu supaya mereka boleh sama-sama menyahut dan juga menjayakan apa jua perancangan yang dibuat oleh pihak Kerajaan khususnya melibatkan East Coast Tourism Corridor Lab and Summit yang telah dirancang. Jadi, kita nak tahu apakah progress, apakah perkembangan terkini dan kalau perkembangan itu, kalau Gantt Chart, ataupun perancangan milestone, carta perbatuan, kita tak tahu kita ini di peringkat mana dah, kalau peringkat perancangan ke, peringkat pelaksanaan ke ataupun masih lagi di peringkat konsep. Dan kita juga membawa suara tourism player dengan izin, iaitu mereka juga ingin mengetahui sama ada Kerajaan Negeri juga akan fokus seperti mana sebelum ini kita ada tagline Visit Beautiful Terengganu untuk tahun sebelum ini sama ada tahun ini kita nak teruskan lagi dengan Visit Beautiful Terengganu yang ada perkataan lain pula, macam Visit Beautiful Terengganu Craft atau Visit Beautiful Terengganu Food Galore dan sebagainya. Itu kita nak tahu apakah perancangan di pihak Kerajaan supaya tourism player, supaya orang kampung, peniaga-peniaga boleh bersama-sama dengan pihak Kerajaan menyahut seruan Kerajaan dengan slogan yang diuar-uarkan oleh pihak Kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, perkara yang berikut yang saya ingin sentuhkan juga adalah yang mana yang disentuh oleh Tuanku pada awal Titah Kebawah Duli Tuanku iaitu kalau ikut muka surat saya tengok ini iaitu muka surat yang kelima, yang mana Tuanku menyeru supaya Negeri Terengganu menjadi antara negeri yang paling harmoni di Malaysia dan mengetepikan politik kepartian dan berilah keutamaan kepada agenda rakyat dan juga pembangunan negeri. Dan sepertimana kata rakan kita daripada Hulu Besut tadi juga kita amat gembira dengan suasana yang penuh harmoni pada kali ini dan kita bermohonlah supaya keadaan ini bukan sahaja berlaku di peringkat Pusat tapi juga di peringkat negeri dan juga di peringkat kampung-kampung. Ini kerana, yalah, nak sebut pun jadi payah juga tapi kena, kita kena maklumkan juga iaitu baru-baru ini kita didatangi oleh beberapa ahli qariah masjid, ada beberapa ahli qariah masjid mari jumpa kita, dia kata amalan yang berlaku baru-baru ini tidak berlaku seperti amalan-amalan sebelumnya iaitu tentang pemilihan Jawatankuasa Masjid di Kuala Besut khususnya. Saya didatangi 2 qariah yang mana dia kata kalau ikut amalan sebelum ini pemilihan Ahli Jawatankuasa Masjid dibuat di masjid dan melibatkan qariah masjid itu sendiri. Nak pilih siapa jawatankuasa, nak pilih siapa AJK dia tapi baru-baru ini perkara tersebut tidak berlaku khususnya di Kuala Besut yang mana menjadi kegusaran menjadi kegelisahan kepada ahli qariah masjid itu sendiri.
Jadi saya membawa suara mereka ni ke dalam Dewan yang mullia ini bagi kita membincangkan supaya ambillah pendekatan yang sebaik mungkin kerana masjid-masjid ni kita semua sedia maklum bahawa rumah Allah tempat kita bersatu padu, tempat kita beribadat kepada Allah. Jadi moleklah kalau kita buat secara sebaik mungkin, janganlah guna kaedah-kaedah yang boleh memberi kegusaran kepada ahli qariah, janganlah tempoh perkhidmatan saya difahamkan Bulan Sembilan ni baru habis tapi ada dah, ada dah pihak-pihak di kampung sana yang mana telah membawa perkara ni tanpa mengikut saluran yang sebetulnya yang tidak melibatkan pemilihan seperti sebelum-sebelum ni yang sekali gus memberi kegusaran kepada, kepada rakyat dan juga jemaah sehinggakan kita dengar ada menda-menda yang tidak molek takut berlaku di kampung kita. Takut ahli qariah tu lari ke guaner ni. Dan kalau nak tanya fakta gok saya khabor selalulah iaitu di Masjid Al-Jumhuriah Kuala Besut dan juga Masjid Nurul Iman di Kampung Tok Saboh. Jadi mohonlah pihak kerajaan supaya tengoklah sebaik mungkin sebab kita nak di masjid ni berlaku perkara-perkara yang molek dan kita dalam program penyatuan ummah ni jadi saya harap penyatuan ummah ni bukan sahaja berlaku di peringkat atas, peringkat pemimpin tetapi juga berlaku di peringkat bawah ni juga.
Dan sebagai akhirnya Tuan Yang di-Pertua, sebagai akhirnya untuk sama-sama kita mengembling tenaga demi Negeri Terengganu yang lebih maju lagi pada masa akan datang. Saya juga ingin membawa suara di kampung saya, ada suara sikit ni, iaitu tentang penternakan ikan air tawar di Kampung Seri Kemunting, di Sungai Seri Kemunting, lama doh dia buat ni tapi baru-baru ni menjadi kegusaran mereka kerana ada ikan mati dan juga masalah-masalah lain melibatkan pencemaran. Jadi saya mohonlah pihak Kerajaan bersama-sama dengan pihak jabatan sebab saya tak mahu apa yang berlaku seperti pengajaran kita di Pasir Gudang Johor tu berlaku di tempat kita. Jadi marilah kita mengambil langkah pencegahan yang mana kita semua sedia maklum bahawa mencegah tu memang jauh lebih baik daripada, daripada mengubat.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih banyak kerana telah memberi peluang kepada saya, dengan ini Kuala Besut mohon menyokong Titah Ucapan. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada Kuala Besut. Sila sesiapa Ahli Yang Berhormat yang ingin berucap. Wakil daripada Sura. Sila.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, alhamdulilahir rabbil alamin. Wassalatu wassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Alhamdulillah terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saf pimpinan atau barisan Exco, rakan Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para Pemerhati, serta hadirin-hadirat yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, pertamanya saya melafazkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana pada petang ini saya dapat mengambil bahagian dalam perbahasan Ucapan Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang di-Pertua kerana memberikan laluan untuk saya menyampaikan ucapan pada petang ini.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, perkara pertama yang saya ingin sebut dalam ucapan saya pada petang ini ialah berkaitan dengan harapan Tuanku supaya dapat kita menwujudkan suatu urus tadbir dan juga mewujudkan suatu hidupan masyarakat yang harmoni di Negeri Terengganu ini tanpa mengira parti dan alhamdulillah, saya kira selepas PRU Ke-14 Negeri Terengganu adalah di antara negeri yang saya kira memperlihatkan budaya politik yang baik, yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat. Dan sesuailah dengan saranan Tuanku Al-Sultan supaya kita semua dapat berganding bahu dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan pentadbiran untuk membawa kesejahteraan kepada kehidupan rakyat. Dan kita sebenarnya telah diberikan panduan oleh Allah Subhanahu Wata’ala melalui firmannya: HYPERLINK "http://bismillah-arrahman.blogspot.com/2010/07/blog-post.html"
Yang bermaksud: Berpegang teguhlah kamu dengan tali yakni Agama Allah dan jangan kamu bercerai berai.
Inilah sebenarnya suatu prinsip yang perlu ada di kalangan kita umat Islam. Dan juga apa yang disuarakan oleh Yang Berhormat Hulu Besut sebentar tadi. Kita umat Islam perlu bersatu dan kesatuan kita mestilah di atas dasar agama di atas satu akidah yang mana itulah prinsip yang boleh kita bersama dengan menerima Islam sebagai dasar, dalam menerima Islam sebagai agama yang merangkumi seluruh aspek kehidupan kita sebagaimana juga firman Allah:
Yang Bermaksud: Wahai orang yang beriman, terimalah masuklah ke dalam Islam keseluruhnya dan jangan kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.
Maka atas prinsip itulah, insya-Allah kita daripada parti PAS sentiasa berlapang dada untuk menerima kerjasama dalam melaksanakan agenda kehidupan masyarakat dalam urus tadbir peringkat negeri dan juga negara. Kita mengharapkan khususnya kepada kepimpinan kita akan berusaha mencari jalan untuk mewujudkan kesepakatan bersama dalam memastikan kuasa politik Islam Melayu dapat dikembalikan semula khususnya di peringkat Nasional, di peringkat Pusat yang mana pada hari ini kita semua maklum berbagai-bagai perkara, berbagai isu yang telah menyentuh berhubung kait dengan bangsa kita, berkaitan dengan agama kita, berkaitan dengan bahasa dan budaya kehidupan masyarakat kita di Malaysia ini. Insya-Allah dengan usaha ini kita doakan semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya juga ingin merujuk kepada Ucapan Titah Tuanku yang menyatakan bahawa hasil negeri kita, Hasil Cukai negeri kita daripada tahun 2017 yang berjumlah RM57.46 juta telah meningkat kepada RM77.99 juta pada tahun 2018 dan Hasil Bukan Cukai juga meningkat daripada RM188.58 juta kepada RM205.29 juta. Ini suatu peningkatan yang menggambarkan usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam memastikan ekonomi negeri kita tidak terlalu bergantung kepada royalti yang selama ini kita semua maklum, Negeri Terengganu kita sangat bergantung kepada hasil royalti sehingga 80%. Jadi saya mengharapkan usaha yang lebih baik, usaha yang lebih bersungguh daripada kepimpinan Kerajaan Negeri bagi memastikan hasil-hasil ini terus meningkat pada tahun-tahun yang akan datang.
Seterusnya kita melihat, bahawa pelaburan juga dijangka meningkat sehingga RM4.9 bilion dan apa yang saya ingin nyatakan di sini agar Kerajaan dan juga kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu kita supaya dapat menjaga ataupun menegaskan berkaitan dengan kuota pekerja bagi rakyat Negeri Terengganu kerana kita pernah dengar suara-suara masyarakat kita yang menyatakan negeri kita dilimpahi oleh tenaga-tenaga pekerja luar yang begitu ramai. Jadi penegasan kerajaan terhadap kuota untuk penduduk Negeri Terengganu perlu kita tegaskan kepada pihak-pihak yang terlibat.
Dan seterusnya saya ingin juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada seluruh rakyat Terengganu dan juga kepimpinan negeri dan juga khusus kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Agama Islam yang telah terus mencipta kecemerlangan kepada anak-anak kita yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM yang lalu. Tinggal lagi apa yang ingin saya suarakan pada petang ini ialah di mana Imtiaz sebuah Sekolah Menengah yang berteraskan kepada agama, yang khususnya saya ingin sebut ialah Sekolah Menengah Imtiaz Daerah Dungun yang mana saya melihat anak-anak kita yang cemerlang yang belajar di Imtiaz itu terpaksa tinggal di penempatan yang ditinggalkan oleh syarikat perlombongan bijih besi sejak tahun 60an dan 70an dahulu. Sehingga hari ini Imtiaz berada di tempat ataupun di rumah yang ditinggalkan itu. Begitu juga satu lagi ialah Imtiaz yang ditinggalkan oleh MRSM. Jadi saya mengharapkan supaya Kerajaan Negeri dan pihak Yayasan Terengganu dan mungkin juga pihak MAIDAM supaya dapat menyediakan infrastruktur ataupun binaan baru kepada Sekolah Imtiaz Daerah Dungun ini. Memandangkan Imtiaz di daerah-daerah lain saya rasa mempunyai bangunan yang begitu baik, maka saya mengharapkan Imtiaz Daerah Dungun tidak ditinggalkan kerana semua anak-anak kita ini adalah merupakan anak-anak yang cemerlang yang perlu kita sentiasa memberikan perhatian.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin juga menyentuh Ucapan Tuanku pada muka surat 25 berkaitan dengan TDI (Tabung Darul Iman). Alhamdulillah rakyat kita seramai 25,000 orang telah menikmati sumbangan daripada TDI berjumlah RM24 juta, tinggal lagi suara yang sering kita dengar ialah proses pemberian sumbangan itu memakan masa yang agak panjang hingga sampai empat, lima, enam bulan dan juga saya pernah turun untuk menyampaikan sumbangan dan apabila sampai ke rumah berkenaan rupanya tuan rumah telah meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Maka inilah perkara-perkara yang perlu pihak TDI mengambil perhatian supaya dapat kita mengadakan satu mekanisma yang dapat memproses dan memberikan khidmat yang lebih cepat kepada anggota masyarakat kita yang perlu kepada bantuan.
Dan seterusnya saya juga ingin menyentuh berkaitan dengan peniaga-peniaga kita usahawan kita yang mana alhamdulillah saya melihat di Daerah Kemaman misalnya dia ada Binjai Souq, di Daerah Besut ada Jerteh Souq yang menjadi setempat untuk peniaga-peniaga, usahawan-usahawan bumiputera kita berniaga. Maka konsep itu boleh kita lebar luaskan ke daerah lain khususnya saya sebut untuk Daerah Dungun yang mana peniaga-peniaga kita, usahawan kita Daerah Dungun tidak ada lagi satu tempat untuk mereka berniaga. Perkara ini telah berulang kali saya sebut dalam perbahasan Ucapan Dewan masa menjadi Pembangkang pun saya sebut supaya pihak Kerajaan dapat menyediakan satu tempat untuk peniaga-peniaga bumiputera kita bertapak meniaga supaya kita dapat menyediakan prasarana yang lebih baik kepada mereka. Kalau Dungun saya kira tempat yang sesuai ialah di tapak pasar buah Sura Gate yang perlu dinaiktaraf kerana bangunan itu sudah memakan masa yang begitu lama dan dengan suasana perkembangan ekonomi hari ini rasanya perlu dinaiktaraf dan dibina baru, semoleknya dibina barulah.
Seterusnya Yang di-Pertua, bahawa negeri kita ini merupakan salah satu daripada sumber ekonomi kita ialah dari sudut pelancongan. Sebagaimana yang disebut tadi banyak tempat-tempat yang menjadi tumpuan kepada pelancong-pelancong luar untuk datang ke Negeri Terengganu dan salah satu daripada tempatnya ialah pasar. Pasar ini perlulah kita sentiasa mempertingkatkan dia punya kemudahan-kemudahan dan juga keselesaan kepada pengunjung. Saya sebut ini khususnya di Pasar Dungun yang mana pihak Majlis Perbandaran Dungun menyatakan bahawa pihak Majlis kekurangan dari segi peruntukan untuk memperbaiki dan juga menaiktaraf pasar yang perlu pihak Kerajaan Negeri membantu pihak Majlis ini bagi pihak Majlis dapat menyediakan prasarana dan suasana yang lebih selesa kepada pengunjung kerana pengunjung-pengunjung, pelancong ini memang pasar adalah merupakan tempat tumpuan mereka untuk membeli belah. Jadi keselesaan kepada pengunjung dan pembeli sangat perlu diutamakan bukan sahaja dari sudut kebersihan sebagaimana yang disebut malahan suasana yang kondusif yang lebih selesa kepada pengunjung dan juga pembeli.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh berkaitan dengan muara Sungai Dungun walaupun insya-Allah soalan saya akan saya persoalkan pada hari esok tetapi saya ingin menyatakan di sini bahawa masalah kecetekan muara Sungai Dungun ini telah meninggalkan kesan yang tidak baik kepada hampir 1,000 lebih nelayan di kawasan Dungun dan juga kepada aktiviti pelancong nak keluar masuk ke muara sungai. Jadi pihak Kerajaan telah mengambil pendekatan iaitu dengan memberikan kebenaran kepada sebuah syarikat untuk mendalami muara Sungai Dungun dan pada 25 haribulan yang lalu pihak Exco telah turun untuk melihat dan pada hari tersebut memang kita lihat kapal yang mengorek pasir itu ada berhampiran dengan muara dan seolah-olah memperlihatkan kepada kepimpinan negeri bahawa kerja mendalami muara sungai itu telah dilaksanakan. Tapi sebenarnya itu sebagai satu lakonan dari pihak syarikat kerana pada hari esoknya bila saya melihat saya meninjau kapal itu sudah tidak ada di muara sungai, mereka sudah beralih di kawasan yang lebih jauh daripada muara. Jadi saya berharap supaya pihak Kerajaan melalui agensi jabatan yang berkenaan supaya dapat memantau aktiviti mendalami muara sungai ini supaya memberikan keselesaan kepada nelayan kita keluar-masuk untuk mencari rezeki dan juga kepada agensi-agensi yang terlibat dalam aktiviti pelancongan supaya tidak menjadi suatu halangan kepada mereka dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat tempatan dalam masa yang sama kita dapat meningkatkan produktiviti kita hasil kepada negeri dan penduduk tempatan kita.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya kira itulah di antara beberapa perkara yang sempat saya sebut pada petang ini. Mudah-mudahan ianya menjadi suatu yang akan diambil perhatian oleh pihak barisan Exco kita dalam memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat di daerah dan juga di Negeri Terengganu kita ini. Jadi dengan itu saya menyokong Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan dan saya sudahi dengan ucapan wabillahi taufik wal hidayah. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Wa’alaikumusalam warahmatullah. Terima kasih pada Wakil Sura. Memandangkan saya nampak tadi ramai lagi yang hendak berucap sebelum saya tangguh sementara harap dapat kembali semula ke Dewan mengikut masa ditetapkan. Oleh itu Yang Berhormat sekalian saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 4.00 petang.
DEWAN DITANGGUH PADA PUKUL 3.45 PETANG.
PUKUL 4.00 PETANG
Bismillahir Rahmanir Rahim. Asalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Mesyuarat disambung semula. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya persilakan siapa lagi yang hendak bercakap? Sila, Wakil Rantau Abang.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Asalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil alamin. Wal’aqibatulil muttaqim wa’ala adwa nailla alazzolimin. Asyhadu alla ilaha illallah wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Qola Rabbisy rahli sadri wayasirli amri wahlul ‘uqdatan minlisaani yafqahu qauli. Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat Ketua-ketua Jabatan, rakan media, Pemerhati yang dihormati Allah sekalian.
Alhamdulillah syukur kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama hingga ke petang ini walaupun nampaknya dah makin susut. Namun, kerja buat kita terpaksa kita teruskan. Dan sempena Sidang Dewan kali ini terima kasih saya mengucapkan kepada Yang Berhormat Yang di-Pertua kerana membenarkan, mengizinkan saya untuk mengambil kesempatan dalam Ucapan Menjunjung Kasih Tuanku. Dan alhamdulillah sekali lagi Kerajaan baru dengan para-para Exco dan kakitangan Kerajaan dapat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan baik dan sempurna. Kita mengharap dan berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah memberi kekuatan, tenaga, buah fikiran untuk kita lalui apa sahaja perancangan yang dirancangkan oleh Kerajaan Negeri yang baru memerintah 10 bulan ini.
Kerajaan baru telahpun meletakkan PITAS 2030 sebagai suatu Pelan Induk Terengganu Sejahtera untuk memajukan apa sahaja program, sama ada ekonominya, sosialnya, pendidikannya dan yang lain selaras dengan apa yang dirancangkan dalam PITAS. Dan alhamdulillah dalam membangun modal insan untuk menerajui Kerajaan Terengganu ada tujuh prinsip yang telah diletakkan dalam PITAS ini. Perkara ini harus difahami oleh seluruh yang ada dalam Dewan yang mulia ini untuk kita sama-sama memperkasakan apa sahaja hala tuju kita dan apa sahaja penyelesaian kita, kita tidak boleh lari daripada elemen yang pertama.
Elemen yang pertama ini, pematuhan kepada prinsip Islam. Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, insya-Allah kita memahami prinsip yang pertama ini dan sebagai kita yang mengaku beragama Islam, kitalah yang akan ke depan, apa sahaja halangan yang datang, kitalah yang dahulu supaya Islam yang kita ketahui
agama yang diterima disisi Allah ialah Islam:
Sebab itulah dalam Titah Ucapan Tuanku, banyak perkara yang telah disentuh tetapi, kita lihat Tuanku memetikkan bahawa ada kuasa-kuasa, cakap-cakap yang cuba hendak melemahkan Islam ini, lebih-lebih lagi berkaitan dengan Institusi Diraja. Kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam mesti meletakkan ini, dan setiap penyelesaian mestilah mengikut penyelesaian Islam.
(Islam itu tinggi, tidak ada yang lebih tinggi)
Siapa yang hendak meninggikan Islam kalau tidak kita yang mengaku beragama Islam, maka kitalah yang dipertanggungjawabkan untuk kita selesaikan apa sahaja permasalahan dengan kita letakkan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai panduan perlembagaan kita.
Perkara yang saya hendak kemukakan berkaitan dengan prinsip Islam ini, satu daripadanya yang sedang berjalan berkuat kuasa dalam masyarakat kita, dan masyarakat kita terpengaruh dengan budaya ini iaitu budaya pinjam dengan Ah Long, di merata-rata tempat ditampal, tetapi masyarakat kita yang dalam keadaan kesempitan terpengaruh dan menerima bantuan ini. Dan apa yang terjadi mereka tak lama, mereka terpaksa menunaikan janji-janji yang telah diberi oleh Ah Long-Ah Long yang tidak diberi apa-apa kebenaran, maka di kebanyakan daerah-daerah telahpun diambil tindakan menjatuhkan banner-banner ini. Tetapi ianya sekadar di situ sahaja. Maka saya mengambil kesempatan atas rungutan masyarakat supaya perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya supaya masyarakat kita tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh tidak menyebabkan mereka hidup dalam keadaan ketakutan. Sudahlah perkara tersebut melanggari syariatnya. Dan dalam prinsip ini ditekankan tentang insan berkualiti yang merupakan aset terpenting negeri. Dan alhamdulillah kita tahu Kerajaan Negeri senantiasa memberi peluang-peluang untuk melahirkan modal insan supaya modal insan ini menjadi tenaga penggerak masa akan datang. Sebab itulah usaha kerajaan dengan membina sekolah-sekolah yang berasaskan Pendidikan Islam. Kita hendaklah memberi keyakinan dan memberi kerjasama kepada penubuhan sekolah-sekolah SRIDI dan SMIDI seterusnya ke peringkat Universiti.
Yang ketiga prinsipnya ialah kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk rakyat. Oleh itu kita mengharapkan, Negeri Terengganu yang Allah kurniakan petroleum dan hasil galian yang banyak. Kita mengharapkan peluang-peluang pekerjaan dibuka luas seperti yang dijanjikan walaupun tidak semudah itu, dengan kebanjiran tenaga-tenaga kerja daripada luar. Cuma kita mengharapkan perlu ada kuota seperti yang disebut tadi. Saya sebut sekali lagi ni, supaya perkara ini menjadi agenda utama kita dalam kita menarik pelabur-pelabur luar datang ke tempat kita supaya anak tempatan tidak ketinggalan. Anak tempatan mempunyai kepakaran-kepakaran kerana anak-anak remaja kita telahpun ramai keluar daripada pusat-pusat pengajian dan juga pusat-pusat kemahiran. Maka saya rasa peluang begitu terbuka kepada anak-anak remaja dan kitalah yang meletakkan dasar ini, supaya pelabur-pelabur dapat mematuhi sebahagian daripada kuota yang kita peruntukan. Kuota perlulah munasabah sesuai dengan perbincangan dua pihak. Oleh kerana mengejar masa saya tinggal lima lagi prinsip ini, cuma saya tegaskan prinsip PITAS ini perlu kita ambil perhatian yang baik supaya apa yang kita rancang mesti kita letakkan perancangan PITAS ini mendahului perancangan-perancangan yang lain.
Seterusnya, alhamdulillah soalan berkaitan dengan silika kebetulan berada dalam berhampiran dengan DUN Rantau Abang dan DUN Pengkalan Berangan dan kita yakin EXCO yang diamanahkan dapat melaksanakan perancangan yang telah dirancang sebelum-sebelum ini. Kita sangat-sangat mengharapkan supaya Terengganu Silica Valley ini biar menjadi sebab telah lama diperbincangkan dan saya yakin sudah ada satu keputusan. Cuma kita mengharapkan seperti yang dirancang supaya menjadi di mana kita tidak mahu hanya silika mentah sahaja dikeluarkan sedangkan pembangunan kilang tidak berlaku. Dan saya kira ini dalam perancangan dan saya mengharapkan kerana peluang-peluang pekerjaan ini amat-amat diperlukan oleh penduduk sekitar Rantau Abang dan Pengkalan Berangan, Jambu Bongkok.
Perkara seterusnya ialah, perkara ketiga yang ingin saya bangkitkan dalam kesempatan ini adalah berkaitan dengan Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Negeri Terengganu 2019 hingga 2023 yang terkandung dalam muka surat 21 dalam Buku Titah Ucapan Tuanku. Saya rujuk di kawasan saya iaitu Rantau Abang, kawasan ini perlu dibangunkan potensinya ada iaitu di muara Sungai Dungun bermula daripada Nibong sampai ke Delong. Ini merupakan suatu tempat yang paling sesuai. Dan bulan ini merupakan bulan Tuntung bertelur dan kita mengharapkan perkara ini menjadi perhatian Kerajaan Negeri supaya dibangunkan daripada Nibong sampai ke Delong untuk dijadikan pusat bertelur dan juga merupakan tempat tarikan pelancong selain daripada kawasan-kawasan Perikanan Air Tawar.
Yang Berhormat, masa dah cukup.
Akhir sekali, berkaitan dengan Rumah Mampu Milik yang telah dijanjikan dalam Sidang yang lepas iaitu bagi DUN Rantau Abang sebanyak 310 unit rumah akan dibina di Kuala Abang. Sebelum ini 2016 di bawah PRIMA pun telah dijanjikan tapi tidak menjelma. Saya mengharapkan atas permintaan masyarakat setempat dan permintaan masyarakat Negeri Terengganu berkaitan dengan pemilikan rumah, saya mengharapkan perkara ini perlu mendapat perhatian dan kalau boleh disegerakan. Jadi sekadar itu, saya daripada Rantau Abang menyokong. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Wa’alaikummussalam. Terima kasih Rantau Abang. Saya persilakan sila Wakil Bandar.
Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdulillahi bi ni’matihi tatimmus solihat. Asyhadu alla ilaha illallah, wahdahu la syariqalah wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu warosuluh. Allahumma salli wasallim’ala habibina wasyaf’ina Muhammad wa’ala alihi wassahbihi wattabi’ina lahum bi ihsani ilaihimiddin. Amma ba’d.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya turut sama membahas dan juga merafak sembah ucapan penghargaan dan menjujung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kerana menyampaikan Titah Diraja di dalam Sidang Dewan kali ini.
Alhamdulillah, setelah kita mendengar sebahagian besar daripada perbahasan, dan setelah kita mendengar juga titah daripada Baginda Sultan yang telah menyatakan kegembiraan Baginda berhubung dengan suasana politik dan juga Kerajaan Negeri Terengganu. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada barisan pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, khususnya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga rakan-rakan kita, daripada penasihat yang turut sama menjadikan suasana politik Negeri Terengganu begitu baik, harmoni dan ceria.
Tuan Yang di-Pertua seterusnya kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, keadaan harmoni ini sebenarnya berkait rapat, dengan perkembangan ekonomi Negeri Terengganu, di dalam Titah Baginda ada menekankan bahawa perlunya Kerajaan Negeri Terengganu, memperkasa dan menambahkan pelabur-pelabur supaya mereka tertarik datang ke Negeri Terengganu. Suasana yang seperti inilah yang patut kita wujud, dalam iklim politik yang stabil, barulah ada keberanian para pelabur untuk sama-sama turut melabur dan memajukan Negeri kita. Saya cukup merasakan banggalah dengan Kerajaan dan juga rakan-rakan kita yang banyak memberi kerjasama supaya kita dilihat di antara Pentadbiran Negeri yang ada di dalam Malaysia yang terbaik sehingga hari ini. ...(Tepukan sokongan) ....
Tuan Yang di-Pertua, walaupun pelaburan yang masuk pada tahun lepas, tahun 2018 mencatat RM4.9 bilion tetapi jumlah yang seperti ini boleh lagi kita tambah, dengan kita menyediakan suasana yang mesra kepada pelabur. Saya juga ingin menyentuh berhubung dengan pembangunan Negeri Terengganu yang komprehensif yang bukan sahaja melibatkan penggunaan potensi yang ada dalam Negeri Terengganu sepertimana sumber asli, kawasan-kawasan pelancongan yang sedia ada yang memang cantik dan indah. Sumber air kita, sungai-sungai yang menarik tetapi juga pembangunan kita perlu kepada melihat Pembangunan Insan, kerana pembangunan yang kita tempa, tanpa membangun insan sudah pasti akhirnya menuju kepada kepincangan.
Saya juga ingin menyatakan persetujuan dan menyokong penuh apabila Kerajaan Negeri telah berusaha untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman dan juga Sekolah Menengah, selaras dengan hasrat Pembangunan Insan bukan sahaja kita mahu melihat rakyat kita mempunyai pendidikan yang sempurna, cemerlang tetapi dalam masa yang sama juga mempunyai sahsiah yang cemerlang. Sama-sama kita merakamkan tahniah kerana pada tahun ini pada tahun 2018, SPM kita dan juga STPM kita mencatat keputusan yang cemerlang. Dan juga kita mengharapkan ianya dapat diteruskan dan diberi galakan yang sebaik-baiknya kepada pelajar-pelajar kita sehingga sampai kepada peringkat yang lebih tinggi di universiti.
Sebelum ini saya ada juga nak buat soalan tapi tak sempat pada hari ini, cuma saya ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk memberi cadangan, di mana mahasiswa kita yang sudah selesai menghabiskan pelajarannya yang telah mencapai keputusan yang cemerlang, kita boleh tukarkannya daripada pinjaman kepada biasiswa, sekiranya ia adalah di bawah pinjaman Kerajaan Negeri Terengganu. Ini bukan sahaja boleh menggalakkan mahasiswa para pelajar kita untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh tetapi ia akan menyediakan ruang dan peluang bagi pelajar tersebut untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Yang Berhormat Yang di-Pertua serta Ahli-ahli Dewan, di antara penekanan yang dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan berhubung dengan Negeri Terengganu yang perlu dijenamakan sebagai destinasi eko-pelancongan kerana Negeri Terengganu memang terkenal dengan tempat-tempatnya yang memang cantik. Adalah malang kalau sekiranya kita tidak dapat memaksimumkan atau mengguna kelebihan yang ada pada Negeri kita ini. Ada beberapa tempat yang memang sudah cantik dan di sana ada tempat yang kalau sekiranya kita tambah sedikit sahaja nilai maka dia akan menjadi tempat yang boleh menggamit para pengunjung sama ada dari dalam dan luar Negara. Saya mengharapkan pihak Kerajaan memandang serius tempat-tempat yang seperti ini dan di antaranya mungkin yang boleh kita tambah nilai sepertimana Taman Tamadun Islam, tempatnya dah cantik, keluasannya cukup, tetapi ada sedikit kekurangan yang perlu kita perhati, kalau kita tanya ramai pengunjung-pengunjung ada yang menyebut, kalau dibina di sini Taman Permainan kanak-kanak, dibuka kolam, lagi meriahlah tempat itu. Jadi ini di antara perkara yang boleh diambil perjalanan oleh pihak Kerajaan khususnya Bahagian Pelancongan kerana tempat-yang sedia ada ini memang sudah cukup cantik cuma nak tambah nilai sikit lagi. Begitu juga tempat-tempat yang lain di pesisir pantai, pesisir sungai, yang ini juga perlu diberi perhatian sesuai dengan Titah Baginda dan bukan sahaja tempat ini ia dikunjungi oleh pengunjung tetapi boleh menjana pendapatan kepada penduduk dan juga kepada Kerajaan. Sudah pasti tempat yang seperti ini memerlukan penginapan dan perlu kepada makan minum begitu juga hasil kraftangan boleh kita satukan. Saya rasa pihak kerajaan perlu juga melihat bagaimana pakej pelancongan yang ada di Negeri Terengganu yang mesti ataupun menggaris pandu agensi-agensi ataupun mereka yang terlibat dengan aktiviti pelancongan ini memasukkan dalam jadual program mereka tempat-tempat yang melibatkan hasil-hasil kraftangan galeri-galeri penduduk setempat. Yang ini juga kalau sekiranya kita ambil perhatian, Kerajaan mendapat pendapatan, rakyat juga boleh berniaga dan industri warisan kita juga tidak akan pupus.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengambil kesempatan berhubung dengan sukan kita yang telah melakar kemenangan yang cemerlang. Tahniah kepada EXCO Sukan kita bersama dengan Majlis Sukan Negeri dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri di atas kesungguhan sehingga kali ini Terengganu menjadi juara dalam SUKMA 2018. Tetapi walaupun kita telah mencapai kemenangan banyak lagi ruang-ruang yang boleh kita penuhi daripada aktiviti sukan yang boleh dimanfaatkan dan mendatangkan kebaikan rakyat Terengganu.
Seterusnya saya juga ingin menyentuh berhubung dengan pertanian. Walaupun Negeri Terengganu dikenali dengan hasil-hasil pertanian dan juga penternakan, tetapi di sana ada rungutan yang berkait dengan industri perikanan para nelayan kita yang berdepan dengan ancaman nelayan-nelayan daripada luar negara kerana mereka ini bukan datang dengan bawa pukat semata-mata, tetapi mereka datang bersama dengan senjata. Jadi kita mengharapkan pihak Kerajaan mengambil perhatian di samping mereka ini merosakkan ekosistem yang ada di dalam laut dengan menggunakan pukat-pukat yang tidak dibenarkan. Jadi ini di antara perkara serius yang akhirnya merugikan Negeri dan telah mengurangkan pendapatan para nelayan kita.
Tuan Yang di-Pertua, begitu juga isu rumah yang telah disentuh oleh beberapa Ahli Yang Berhormat sepertimana yang telah dimaklumkan Kerajaan berhasrat untuk membina 20,000 unit rumah sepanjang 5 tahun ini. Walaupun angka ini memang angka yang belum mencukupi lagi bila dirujuk kepada permintaan yang telah melebihi 100,000 permohonan tetapi kita hanya baru berjanji nak buat 20,000 dan apabila Tuanku Sultan telah menegaskan di antara maklumat bahawa Kerajaan telah mengenalpasti tempat-tempat untuk menyediakan rumah tersebut yang melibatkan 710 unit ini merupakan langkah yang bijak dan baik dan saya rasa belum mencapai kepada apa yang kita hasratkan. Saya merayu bagi pihak rakyat Negeri Terengganu supaya Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan lebih lagi peruntukan untuk menyediakan Rumah Mampu Milik kepada rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh perkara yang pertama yang telah dititah oleh Tuanku Sultan walaupun ucapannya diawal tetapi saya mengambil peluang untuk diakhir, biasanya yang akhir ini orang ingat yang dulu-dulu tidak ingat. Yang akhir ini ialah berkait dengan isu yang melanda Negara kita sekarang yang digusar oleh Tuanku Al-Sultan dan juga ramai orang apabila ada pihak yang sudah berani untuk menyatakan perkara-perkara yang boleh mengganggu dan mencemar Agama Islam. Tuan Yang di-Pertua seerta Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kalau kita melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini semua bukan silap sesiapa tetapi silap kita sendiri apabila kita tidak mempunyai sensitiviti dan kita tidak boleh bersepakat untuk mempertahankan Islam dan mempertahankan agama kita serta bangsa kita maka ia sudah menjadi satu perkara yang memberi peluang kepada pihak lain.
Tuan Yang di-Pertua, jadi oleh kerana itu mengambil kesempatan pada hari ini untuk sama-sama memperkuatkan semangat mempertahankan agama dan mempertahankan bangsa kita Bangsa Melayu dan kita tidak pernah lupa hak-hak orang lain. Akhirnya saya ingin membaca satu hadis kesempatan yang ringkas. Ansaubana Radhiallah wa anhu qola Rasulullahi Salallahi Wassalam:
Riwayat Abu Daud daripada Sauban Radhiallahu anhu Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam bersabda: Hampir tiba masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya apakah dari kerana sedikit bilangan kami Ya Rasulullah. Rasulullahi Sallahu ’Alaihi Wassalam menyatakan bahawa bahkan kamu ketika itu ramai seperti buih di lautan tetapi Allah Subhanahu Wata’ala telah mencabut daripada hati musuh kamu gerunnya mereka terhadap kamu dan Allah Ta’ala mencampakkan penyakit Wahan di dalam hati kamu, di dalam diri kamu, maka mereka bertanya kepada Rasulullah “Wamal Wahnu Ya Rasulullah?” Apa dia Al-Wahan itu? Qala, Sabda Rasulullah mereka ini cintakan dunia dan takutkan mati. Saya sudahi ucapan saya, Bandar mahu menyokong. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Terima kasih Wakil Bandar. Sila angkat tangan siapa lagi nak berucap? Siapa yang nak berucap, sila angkat tangan lagi? Saya nak sebutkan lebih awal kalau yang tak angkat tangan memang nak berucap memang kita kesuntukan masa besok sebab kita dah kelewatan kerana beberapa program sampingan tadi dan sebahagian daripada Ahli Yang Berhormat masuk tidak mengikut jadual. Oleh sebab itu, esok sebenarnya saya akan bagi sikit lagi peluang untuk Ahli Yang Berhormat yang berbaki yang yang belum berucap tapi akan digulungkan oleh pihak Kerajaan juga esok. Jadi, kalau mengikut pada masa, terpaksa saya nampak, kalau nak gulung pun akan makan masa, perlu Usul untuk Melanjutkan Tempoh Masa selepas pada pukul 5.00 petang. Jadi, sekarang ni saya nak bagi peluang yang terakhir, yang terakhir tapi berucap 3 minit sebelum pukul 5.00. Siapa nak berucap? Yang terakhir petang ni. Sila, 3 minit sebelum pukul 5.00 saya minta berhenti oleh kerana, kalau tidak terpaksa Usul Lanjut Tempoh Masa. Dipersilakan Wakil Manir.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO-EXCO Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kerajaan dan Pemerhati yang dirahmati oleh Allah Ta’ala sekalian. Mengambil bahagian dalam Ucaptama Menjunjung Kasih Titah Tuanku yang dapat kita lihat bersama hasrat Baginda Sultan sebagaimana yang tertera di dalam ucapan baginda yang kita sama-sama teliti pada malam semalam, alhamdulillah kita melihat bagaimana respon yang sangat positif daripada Tuanku Al-Sultan mengenai perjalanan Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersama barisan EXCO yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, hari ini tempoh Kerajaan Negeri Terengganu menghampiri usia setahun. Yang mana saya yakin seluruh mereka yang diberi tugas dan tanggungjawab Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO Kerajaan Negeri melalui fasa-fasa proses mengenalpasti permasalahan punca sebenar dan menghuraikan kemelut permasalahan-permasalahan yang ditemui di dalam tanggungjawab yang digalas oleh mereka. Dan saya yakin bahawa fasa ini adalah satu fasa yang sangat kritikal kerana bagi memahami sesuatu yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu adalah sesuatu yang sangat mencabar. Tetapi dengan kematangan, kita boleh puji kebanyakan Pegawai-pegawai Kerajaan memberikan kerjasama yang sangat baik. Alhamdulillah, fasa ini dapat dilalui dengan cepat dan selamat. Alhamdulillah.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, sekarang ini kita telah juga masuk di dalam fasa penambahbaikan dan pemulihan pada segala penemuan yang ada dan ia merupakan salah satu fasa yang juga mencabar, kerana kita mempunyai satu masa yang sangat singkat, iaitu satu penggal Pilihan Raya yang sudah tentu ianya bukanlah satu masa jangka masa yang panjang. Ditambah lagi dengan pendapatan Kerajaan Negeri Terengganu yang kita semua tahu berkenaan dengan royalti, kita diberikan dengan bayaran yang orang kata, tidak diberi secara sekaligus ditambah lagi dengan kekurangan, kalau kita teliti dengan ucapan dengan Titah Tuanku ini, kekurangan kita lebih kurang 17% pengurangan daripada apa yang kita diperolehi pada masa yang telah lalu. Ia juga menambahkan renjatan bagi fasa penambahbaikan dan pemulihan ini. Namun begitu, itu semua bukanlah satu alasan untuk Kerajaan yang baru ini beralasan merencatkan dalam merencana fasa penambahbaikan ini. Saya mengucapkan tahniah kerana Kerajaan Negeri Terengganu telah mula mendepani fasa ini dengan baik dan dapat mendepani penambahan pada Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai. Pada tahun yang lalu, 2018 sebanyak RM37.24 juta penambahan. Yang Berhormat Yang di-Pertua, di dalam Surah Nuh ayat yang ke-10 hingga ke-14 yang menceritakan berkenaan dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, memohon, meminta dikatakan:
Pohonkanlah keampunan kepada Tuhan kamu sesunggahnya Dialah Allah yang Maha Pengampun. Dan ayat yang ke seterusnya yang menyebut Dialah Allah yang menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu dan ia akan memberikan kepada kamu dengan sebanyak-banyaknya harta kekayaan serta anak pinak dan Dialah Allah yang mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai yang mengalir di dalamnya, mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya padahal sesunggahnya Allah Ta’ala telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, melihat kepada muka surat 21 apa yang disebut oleh Baginda Al-Sultan mengenai Pelan Strategi Halatuju Pertanian Negeri Terengganu yang sudah tentu digaris dengan teliti di antara yang disebut enam point yang disebut di dalam perkara ini merangkumi:
1.
Mengukuhkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri (KDNK) sektor pertanian, perternakan dan perikanan secara komprehensif dan mampan.
2.
Memperkasakan produk pertanian Negeri Terengganu yang berkualiti dan berpotensi tinggi.
3.
Teknologi dan inovasi sebagai pemangkin produktivi dan peningkatan kualiti hasil.
4.
Memperkasakan industri asas tani dalam mengoptimumkan penghasilan produk yang berdaya saing.
5.
Memaju sektor perternakan sebagai satu bidang kerjaya.
6.
Memperkukuhkan masyarakat yang saksama melalui program secara inklusif.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, kita juga mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Asas Tani di atas kejayaan pembukaan yang pertama Hab Pemprosesan Dan Pengembangan Cendawan di Tempinis, Besut yang pertama di Malaysia. Yang kedua, makmal kualiti madu yang pertama di Pantai Timur yang bertempat di UMT. Yang Ketiga, pemprosesan susu kambing di Jenang yang merupakan Pusat Pemprosesan Susu Kambing yang pertama di Terengganu.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, alhamdulillah sedikit sebanyak, di sana juga kita sebagai Kerajaan yang cuba menilaikan, membuat menerapkan nilai-nilai Islam ....
Yang Berhormat Wakil Manir, saya minta berhenti dulu ucapan Yang Berhomat, jangan susah hati insya Allah saya akan memberi masa Yang Berhormat untuk sambung esok.
Terima kasih.
Ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan Sidang kita pada hari ini kepada hari esok, 3 April 2019 jam 9.30 pagi.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA 5.00 PETANG.