Terengganu · 3 April 2019

14th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 264 turns · 35,997 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Yang di-Pertua

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan Persidangan kita, marilah kita sama-sama membaca Ummul Quran, Al-Fatihah. [Al-Fatihah].

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Mesyuarat pagi ini diteruskan dengan Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini, 3 April 2019 iaitu:

Yang Berhormat Haji Hishamuddin bin Abdul Karim

(Wakil Tepoh)

Yang Berhormat Muhammad Khalil bin Abdul Hadi

(Wakil Batu Buruk)

Yang Berhormat Dato’ Haji Rozi bin Mamat

(Wakil Telemong)

Yang Berhormat Haji Wan Hapandi bin Wan Nik

(Wakil Sura)

Yang Berhormat Haji Nawi bin Mohamad

(Wakil Hulu Besut)

Yang Berhormat Haji Ridzuan bin Hashim

(Wakil Buluh Gading)

Yang Berhormat Haji Roslee bin Daud

(Wakil Bukit Besi)

Yang Berhormat Haji Hilmi bin Harun

(Wakil Manir)

Yang Berhormat Dato’ Haji Muhammad Pehimi bin Yusof

(Wakil Jertih)

Yang Berhormat Haji Alias bin Harun

(Wakil Rantau Abang)

Yang Berhormat Haji Bazlan bin Abd. Rahman

(Wakil Batu Rakit)

Yang Berhormat Sulaiman bin Sulong

(Wakil Pengkalan Berangan)

Yang Berhormat Tengku Zaihan bin Che Ku Abd Rahman

(Wakil Kuala Besut)

Yang Berhormat Ahmad Shah bin Mohamed

(Wakil Bandar)

Yang Berhormat Ab. Razak bin Ibrahim

(Wakil Air Putih)

Yang Berhormat Maliaman bin Kassim

(Wakil Ajil)

Yang Berhormat Ir. Saiful Azmi bin Suhaili

(Wakil Kemasik)

Yang Berhormat Hajah Zuraida binti Md. Noor

(Wakil Wanita)

Sebagaimana biasa untuk berlaku adil, saya akan mulakan Soalan-soalan Lisan bermula daripada Ahli Yang Berhormat yang tak sempat nak mengemukakan soalan pada hari kelmarin, jadi oleh sebab itu mengikut susunannya saya persilakan Yang Berhormat Wakil Batu Rakit. Hampir-hampir terlepas tadi, sebenarnya saya tunggu tadi. Dua-tiga minit saya tunggu untuk memulakan Persidangan. Sila.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua kerana dimaklumkan tunggu juga saya. Terima kasih banyak.

Yang di-Pertua

Tak apa sekali sekala jerlah. Jangan kerek-kerek sangat.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Tapi saya masuk tadi, sedang molek baru start. Okeylah terima kasih banyak. Soalan saya, soalan nombor satu -

Pada pembentangan Bajet 2019, Y.A.B Menteri Besar telah mengumumkan pendapatan dari hasil minyak dan gas ialah sebanyak RM1.7 bilion. Dari perbincangan dengan Kerajaan Pusat, adakah angka ini realistik?

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Yang dihormati Ahli-ahli Yang Berhormat serta Pegawai-pegawai Kerajaan dan para Pemerhati sekalian. Soalan yang pertama pada hari ini adalah soalan daripada Batu Rakit yang berbunyi: Pada perbentangan Bajet 2019, Menteri Besar telah mengumumkan pendapatan dari hasil minyak dan gas ialah sebanyak RM1.7 billion. Dari perbincangan dengan Kerajaan Pusat, adakah angka ini realistik?

Terima kasih kepada soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Rakit. Dalam pembentangan Bajet 2019, saya telah mengumumkan pendapatan dari hasil minyak dan gas ialah sebanyak RM1.4 bilion dan bukannya RM1.7 bilion, di mana sebenarnya RM1.7 bilion yang disebut di dalam Bajet itu adalah Terimaan Bukan Hasil dan terimaan ini bukan sahaja terdiri daripada pendapatan daripada hasil minyak dan gas, tetapi ia juga termasuk dalamnya bayaran balik DKKP (Dana Khas Kerajaan Persekutuan) dan Pemberian Kerajaan Persekutuan serta lain-lain hasil.

Perkara yang kedua dalam persoalan itu ialah adakah jumlah ini realilstik. Kita berpandangan bahawa jumlah ini adalah realistik kerana purata harga minyak dunia adalah pada kadar USD60 hingga USD70 setong. Kerajaan Negeri membentangkan Bajet 2019 dengan merujuk pada anggaran harga minyak dunia pada kadar USD60 setong. Manakala dalam masa yang sama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pusat membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat dengan merujuk kepada anggaran harga minyak dunia pada kadar USD70 setong. Sekian.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Soalan tambahan saya. Adakah sekiranya kalau perbelanjaan ini realistik, maknanya pendapatan kita dapat sebanyak yang dinyatakan itu, adakah kita telah menerima pembayaran sepenuhnya.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Rakit sebenarnya berkait dengan satu soalan lain dalam senarai soalan iaitu soalan daripada Yang Berhormat Bukit Besi. Minta jawab terus ke, Bukit Besi?

Yang di-Pertua

Kalau Yang Amat Berhormat Menteri Besar jawab, baik sekaliguslah. Kalau kata nak .....

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Boleh Bukit Besi?

Yang di-Pertua

Ya?

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Sebab ia berkait langsung dengan soalan Bukit Besi.

Yang di-Pertua

Nak tunggu Bukit Besi?

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Yalah jawab teruslah.

Yang di-Pertua

Jawab terus.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih. Soalan tambahan tadi berkait dengan soalan daripada Yang Berhormat Bukit Besi iaitu secara khususnya tentang komitmen yang telah diberikan Kerajaan Pusat dalam menyelesaikan bayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan apakah statusnya yang boleh dikongsikan hingga kini. Komitmen yang disebut dalam persoalan ini adalah kalau kita rujuk dalam Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bermaksud iltizam, kata putus ataupun persetujuan daripada Kerajaan Pusat terhadap pembayaran royalti petroleum pada Kerajaan Negeri. Apa yang saya nak cuba sampaikan di sini ialah komitmen itu ialah satu perkara, perkara yang kedua ialah pelaksanaan pada komitmen. Komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Pusat adalah bersandarkan kepada dua surat, dua keputusan dan surat yang disampaikan oleh Kerajaan Persekutuan pada Kerajaan Negeri iaitu yang pertama melalui Keputusan Majlis Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang telah diadakan pada 7hb Jun 2018 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Di mana dalam keputusan itu telah menjelaskan bahawa wang bayaran royalti petroleum pada Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa negeri yang lain yang disebut dalam perbincangan Majlis Mesyuarat Majlis Kewangan Negara akan dibayar terus pada Kerajaan Negeri.

Dan surat yang kedua yang lebih memperincikan lagi adalah surat yang diterima oleh Kerajaan Negeri yang dihantar oleh Kementerian Kewangan Malaysia yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan bertarikh 4hb Januari 2019 yang memaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019 telah bersetuju DKKP atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang disebut dalam surat itu dengan nama baharu iaitu Wang Tunai Petroleum akan dibayar terus kepada Kerajaan Negeri dan melibatkan pemotongan sebanyak 25% daripada Wang Tunai Petroleum itu untuk membayar hutang Kerajaan Negeri Terengganu kepada Kerajaan Persekutuan.

Pendekatan yang kita ambil ialah walaupun surat itu menjelaskan pemotongan 25% tetapi Kerajaan Negeri mengambil sikap yang segera selepas daripada itu dengan kita menghantar surat rayuan supaya tidak diambil 25% pemotongan tetapi dengan kadar yang lebih munasabah dan lebih kecil dengan mengambil kira kita telah membentangkan dan menyediakan Bajet 2019 yang kita bentangkan pada tahun lepas tanpa mengambil kira berlaku sebarang pemotongan maka apabila berlaku pemotongan twenty five percent atau 25% maka tentulah kita berpandangan ianya sedikit sebanyak akan mengganggu perjalanan kewangan Negeri Terengganu. Walaupun begitu kita masih lagi belum menerima maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan tentang rayuan terhadap kadar pemotongan untuk membayar hutang Kerajaan Negeri Terengganu.

Status yang boleh dikongsikan dengan rakyat yang berkait dengan soalan Yang Berhormat Bukit Besi adalah seperti berikut. Bagi tempoh berakhir 31 Disember 2018, Kerajaan Negeri telah menerima bayaran DKKP atau royalti atau Wang Tunai Petroleum itu sebanyak RM1,053,960,000 atau Satu Bilion Lima Puluh Tiga Juta Sembilan Ratus Enam Puluh Ribu. Bayaran telah dibuat secara berperingkat sebagaimana berikut: Yang pertama yang diterima sebelum daripada Pilihan Raya Umum pada tahun lepas yang diterima pada 10.4.2018 sebanyak RM603,960,000 yang diterima pada 21hb Ogos 2018 adalah sebanyak RM100 juta, yang diterima pada 8hb Oktober 2018 sebanyak RM200 juta, yang diterima pada 12hb Disember 2018 sebanyak RM150 juta. Sekian.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua .....

Yang di-Pertua

Bagi pada kepada tuan punya soalan asal dulu. Sila. Bagi laluan? Bagi laluan pada bos, ya.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan. Bagi tahun 2019 adakah Kerajaan Negeri telah menerima dana tersebut dengan Kerajaan Pusat kerana mengikut perjanjian setiap bulan Mac kadang-kadang masuk April, satu. Yang kedua, kalau mengikut perjanjian bayaran ini dibuat dua tahun sekali, bulan Mac dan juga bulan September. Kenapa .....

Yang di-Pertua

Dua tahun sekali ke Yang Berhormat?

Yang di-Pertua

Dua tahun sekali ke dua kali setahun?

Dok, dua kali setahun sorry.

Yang di-Pertua

Horr, saya perbetulkan.

Terima kasih. Tapi mengikut kenyataan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tahun lepas bagi tiga kali beruncit-runcit. Ini adalah menyalahi perjanjian yang sepatutnya dilaksanakan dengan syarat Kerajaan menulis surat kepada Kerajaan Pusat mengapa ini terjadi. Adakah Kerajaan Pusat tak ada duit juga? Sedangkan minyak dapat sepanjang masa. Dua soalan saya tadi, satu bagi tahun 2019 boleh atau tidak lagi setakat ini. Yang kedua, kenapa tiga kali bayaran dan sekiranya ini berlaku bagi saya Kerajaan Negeri akan suffer dengan izin, sebab saya dimaklumkan sekurang-kurangnya ikut payment saja kena bayar tahun ini lebih kurang RM200 juta. Ini hakikat yang perlu diketahui oleh rakyat sebenarnya. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Okey Yang Berhormat, Terima kasih.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Kijal. Apa yang disebut oleh Yang Berhormat Kijal adalah merupakan suatu realiti bahawa penerimaan kita pada penerimaan wang royalti pada 2018 adalah secara beruncit-runcit dan memang apabila dibayar secara beruncit ini akan menyukarkan dari segi perancangan kewangan termasuklah pembayaran-pembayaran yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri. Walaupun begitu, kita juga dalam beberapa kesempatan menyuarakan kegusaran kita dan ketidakpuashatian kita bahawa secara pembayaran beruncit ini akan menyukarkan Kerajaan Negeri yang berkait juga dengan suatu penderaan secara halus kepada rakyat. Tapi sehingga kini kita belum mendapat satu jawapan yang pasti yang tuntas daripada Kerajaan Pusat.

Ingin saya jelaskan juga bahawa pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menerima bayaran royalti ataupun Wang Tunai Petroleum sebanyak RM193.18 juta yang mana sebenarnya RM193.18 juta ini adalah Wang Tunai Petroleum yang sepatutnya kita terima pada tahun 2018 tetapi diberi runcit-runcit sampai yang terakhir itu dibayar pada Januari 2019. Dan jumlah tersebut yang kita terima sebanyak RM193.18 juta itu adalah jumlah bersih setelah ditolak siang-siang, orang Terengganu kata .....

Yang di-Pertua

Dicandat.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Dicandat siap-siap sebanyak 25% oleh Kerajaan Pusat. Persoalan sama ada kenapa itu berlaku, saya rasa kita Dewan yang mulia ini dan seluruh rakyat Terengganu menuntut satu jawapan yang pasti daripada Kerajaan Pusat sama ada saya ingin mengulangi apa yang disebut oleh persoalan Yang Berhormat Kijal bahawa sama ada Kerajaan Pusat ada duit ke tidak ataupun apa masalah mereka, itu saya rasa memerlukan suatu jawapan pada seluruh rakyat Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan lagi iaitu kalau nok kira candatlah sepatutnya Kerajaan Pusat juga harus mengambil kira tentang pengambilan duit Kerajaan Negeri yang membina Lebuh Raya Pantai Timur. Kalau kita ada hutang RM700 juta, dia ambil duit kita RM1.850 bilion, tolaklah ada RM1 bilion lagi dan tidak termasuk RM200 juta yang saya tuntut setiap tahun Januari dibayar oleh Kerajaan Pusat yang membina projek-projek di Terengganu menggunakan Dana Khas dan saya rasa belum lagi habis jumlah RM2.1 bilion dulu. Takpe, kita tak ada masalah sepatutnya. Kalau nak kita fair and square lah atau tak nak tolak hutang kita dan kita masih berbalance lagi. Dan kita haraplah kita dapat berjumpa, tulis surat kepada Perdana Menteri dan saya bersedia seperti yang saya kata dahulu bersedia menghadap PM bersama dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar demi kepentingan Negeri Terengganu. Takkan hutang kita nak potong, hutang dia tak nak potong? ...(Tepukan sokongan) .... Janji boleh belaka, nak bagi balik royalti dan sebagainya. Ini pembohong semata-mata. Terima kasih.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada Kijal. Pertama saya sangat teruja di atas tawaran yang diberikan oleh Yang Berhormat daripada Kijal. Insya-Allah kita akan sama-sama berusaha bersepadu untuk kebajikan rakyat Negeri Terengganu. Sememangnya setelah kita menerima surat pemotongan sebanyak 25% itu, maka dalam masa yang sama kita juga akan sedang dalam proses untuk menuntut hutang-hutang Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri di mana yang berjumlah jangkaan dalam pengiraan kita adalah berjumlah RM1.651 bilion, di mana ianya adalah bayaran balik DKKP 2019 sebanyak RM220 juta dan bayaran balik pembinaan LPT2 - RM1.431 juta. Sekian.

Yang di-Pertua

Okey, terima kasih.

Satu yang terakhir.

Tepoh dulu Speaker.

Yang di-Pertua

Tembung, tak apa saya pandang dia dulu.

Okey, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebab perkara yang dibincang ini perkara yang sangat penting khususnya untuk kita rakyat Terengganu. Kita memahami kesukaran yang dihadapi oleh pihak Kerajaan Negeri sekarang ini. Cuma, apa yang kita bincang kita juga nak tahu jugalah apa dia inisiatif ataupun strategi ataupun plan contingency pihak kerajaan untuk kita menangani isu yang sukar yang dihadapi sekarang ni. Sekiranya duit minyak tu tak mari sepenuhnya macam mana kita nak merealisasikan bajet maknanya strategi ataupun contingency plan? Okey, terima kasih.

Yang di-Pertua

Ini soalan lain Yang Berhormat ni, nanti akan digulung oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Yang di-Pertua

Tepoh, sila.

Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Saya merujuk jawapan yang dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat sebentar tadi sebab kita tahu sikap Kerajaan Federal pada kali ni agak kurang sikit untuk kita boleh percayalah. Dan disebut tadi 25% berlaku pemotongan, saya percaya pihak kerajaan sudah tentu menyusun strategi bagi mengisi balik 25% pemotongan itu. Apakah cadangan pihak Kerajaan Negeri untuk top up Terimaan Bukan Hasil yang telah dipotong 25% sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat sebentar tadi.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat nak jawab sekarang atau dalam pergulungan nanti? Dalam pergulungan eh. Okey, terima kasih.

Yang di-Pertua, mintak maaf Yang di-Pertua, demi kepentingan rakyat saya mintak fahamlah, saya minta izin, iaitu saya mengharaplah, saya nak tanya, minta penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, adakah Kerajaan Pusat membayar kepada Kerajaan Negeri RM200 juta setiap tahun yang mana projek-projek yang telah dibuat di Negeri Terengganu yang saya tuntut merupakan salah satu sebab saya bergaduh dengan Perdana Menteri ketika itu. RM200 juta, setiap Januari RM200 juta, dibayar atau tidak?

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada persoalan itu. Memang kita sedar bahawa setiap Januari dibayar RM200 juta oleh Kerajaan Pusat pada Kerajaan Negeri dan pada untuk tahun 2019 lagi belum menerima. Dan kita juga menerima surat daripada Kerajaan Pusat oleh Kementerian Kewangan yang memohon, mereka memohon untuk menangguhkan pembayaran di satu waktu yang lain bukan Januari 2019 iaitu berjumlah RM220 juta.

Yang di-Pertua, mana boleh, hok dia nak potong jer, hok kita takmboh bayor.

Yang di-Pertua

Ya, ya. Okey, terima kasih.

Baham rambang Kerajaan PH ni.

Yang di-Pertua

Hari ini kita bagi kredit kepada Wakil Kijal. Seterusnya saya persilakan soalan daripada Yang Berhormat Pengkalan Berangan. Tidak hadir. Oh, ada mesej saya terima, mak Wakil Pengkalan Berangan sakit tenat. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Wakil Kuala Besut.

Terima kasih Yang di-Pertua, soalan saya no. 1 -

Apakah perancangan jangka panjang dan jangka pendek pihak kerajaan untuk merancakkan ekonomi di Negeri Terengganu khususnya dalam membantu golongan B40?

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kail kerapu boleh ketutu saya jawab soalan nombor 1. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Besut yang mengajukan soalan berkaitan dengan perancangan jangka panjang dan jangka pendek, pihak kerajaan untuk merancakkan ekonomi di Negeri Terengganu khususnya untuk membantu golongan B40.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, di mana kita nak cari golongan B40 di negeri kita. Kita akan jumpa majoriti mereka dalam sektor pertanian, sektor perladangan, perikanan, dan penternakan. Maka perancangan untuk bantu golongan B40 ini mesti difokuskan kepada sektor ini. Biasanya mereka segan dan malu untuk datang jumpa. Kitalah sebagai pemimpin yang perlu turun selami suka duka dan susah payah mereka, kenalpasti apa pemasalahan mereka hadapi dengan tepat dan kita akan dapat mengatur gerak langkah yang betul untuk membantu golongan B40 ini.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, hasil daripada program turun padang secara intensif ke tepi pantai, bendang, kebun, ladang, kolam, sungai sampai ke laut. Saya kemukakan kepada Dewan beberapa contoh langkah-langkah dan perancangan yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membantu golongan B40 seterusnya membantu merancakkan kegiatan ekonomi mereka.

Yang pertama di kawasan Yang Berhormat Kuala Besut sendiri di Kampung Pengkalan Nangka. Pesawah berhadapan dengan masalah pengairan untuk mengusahakan sawah ekoran daripada tali air di kawasan sawah kampung tersebut terbiar agak lama lebih kurang 6 tahun disebabkan oleh kerosakan Empangan Pengkalan Nangka. Kita telah mengambil langkah segera melakukan penyelenggaraan tali air dan alhamdulillah kelmarin saya dimaklumkan oleh Yang Berhormat Kuala Besut sawah padi di kawasan Pengkalan Nangka telah menghijau kembali. Syukur kepada Allah atas limpahan rezeki kepada rakyat kita di Negeri Terengganu.

Contoh lain Yang Berhormat, nelayan kita nelayan pantai yang rata-rata yang berpendapatan rendah masuk dalam golongan B40 mengadu kepada kita tentang kekurangan hasil tangkapan dan pencerobohan pukat tunda. Kita buat Program Labuh Unjam dan Labuh Tukun untuk memperkayakan semula sumber perikanan dan insya-Allah menjelang tahun 2020 kawasan Zon A iaitu Kawasan Zon Tangkapan Nelayan Pantai akan diperluaskan daripada 5 batu nautika sekarang ni kepada 12 batu nautika supaya zon untuk tangkapan nelayan pantai ini diperluaskan dan membuka ruang yang lebih luas untuk mereka mencari rezeki.

Ada isu yang kita terima berkaitan dengan rintihan penternak kambing tenusu kecil-kecilan di Negeri Terengganu. Jumlah mereka sekitar 50 orang, susu tidak dapat diproses dengan sempurna. Maka Kerajaan Negeri telah mengambil sepenuh dokongan dan sokongan kepada Syarikat Tenox untuk mewujudkan satu Pusat Pemprosesan Susu yang pertama di Negeri Terengganu bertempat di Pusat Pengembangan Veterinar, Jenang di Marang dan insya-Allah akan beroperasi dalam masa yang terdekat ini.

Di antara bidang yang banyak diceburi oleh golongan B40 ialah Bidang Industri Cendawan. Kerajaan Negeri dengan kerjasama MESTECC telah menubuhkan HPPC Hab Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan yang pertama di Malaysia bertempat di Kampung Tempenis, Besut yang telah kita rasmikan pada tanggal 19.10.2018 yang lalu.

Masalah-masalah berkaitan dengan modal yang dihadapi oleh petani, penternak dan nelayan juga mereka yang terlibat dengan IAT (Industri Asas Tani), Kerajaan Negeri telah melancarkan Skim Bantuan Modal Tani satu skim bantuan modal, pinjaman mudah, faktor syariah tanpa faedah bukan pinjaman takdok faedah, pinjaman tanpa faedah yang telah kita lancarkan pada 29hb Januari baru-baru ni.

Masalah pemasaran yang dihadapi oleh masyarakat petani, penternak, dan nelayan sehingga mereka menjadi bahan permainan orang tengah dalam memasarkan hasil-hasil keluaran mereka, kita bantu dengan kita wujudkan Pasar Nelayan, Agro Bazar, Pasar Ternakan, Program Jualan Terus daripada ladang dan beberapa lagi program supaya masyarakat petani, penternak, dan nelayan golongan B40 ini mendapat keuntungan yang lebih baik tanpa dipermainkan oleh orang tengah. Dalam masa yang sama pengguna juga akan dapat harga yang lebih rendah daripada harga semasa kerana rantaian bekalan hasil ni telah kita pendekkan daripada pengeluar terus kepada pengguna. Kalau ada golongan di bawah B40 ini yang ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kita sedia pelbagai kursus sama ada jangka pendek atau jangka sederhana yang meliputi 4 sektor utama ini.

Satu lagi isu yang suka saya sebut, bagaimana kita bantu golongan B40 pada pagi ini ialah pengusaha Pusat Pembenihan Kerapu Hibrid di kawasan Pantai Air Tawar di Besut yang sebelum ni berada di dalam keadaan ketidaktentuan ekoran daripada mereka ini berstatus penceroboh tanah haram Kerajaan. Dalam masa alhamdulillah, sekitar 6 bulan kita telah selesaikan dengan kawasan seluas 36 hektar di kawasan Pantai Air Tawar di Besut, kita telah wartakan sebagai ZIA (Zon Industri Akuakultur) di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Selesailah masalah dan dilema yang dihadapi oleh pengusaha di sini dalam tempoh lebih daripada 5 tahun.

Yang terbaru, masalah yang dihadapi oleh pesawah di kawasan Skim Pengairan Jelapang Langkap sedang dalam proses untuk diambil tindakan oleh Kerajaan Negeri agar kawasan sawah padi seluas lebih 700 hektar boleh dimanfaatkan untuk pesawah-pesawah kita, golongan B40 yang berada di Kampung Bukit Putera, Bukit Layak dan juga di Kampung Jelapang.

Saya boleh simpulkan bantuan Kerajaan kepada golongan B40 ini bukan dalam bentuk bagi ikan, tetapi kita bagi pancing dan umpan. Ikan kena gi kail sendiri, tak dapat kerapu pun, dapat ketutu pun kira alhamdulillah. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO kerana memberi penjelasan dan apa jua rancangan jangka panjang dan juga pendek untuk kita bantu golongan B40. Cuma pada awal tahun ini, pihak Kerajaan Negeri telah melancarkan satu tabung saya rasa untuk bantu juga golongan B40 sebahagian daripada target group dia dengan izin, iaitu tabung yang dipanggil Tabung Usahawan Sejahtera Terengganu ataupun short form dia TUGAS dan juga Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan juga Skim Program Business Online yang telah dilancarkan pada awal tahun ini. Jadi, yang berjumlah dana yang disediakan oleh pihak Kerajaan berjumlah RM15 juta. Jadi, saya nak tahu jugalah, kita mewakili orang kampung, nak tahu berapa ramai yang telah mohon dana ini, tabung ini dan juga berapa ramai yang telah dapat dan ada tak statistik yang boleh kita asingkan ikut daerah ataupun ikut DUN? Terima kasih Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Kuala Besut, saya mohon kepada rakan EXCO usahawan untuk ambil perhatian kepada soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Kuala Besut tadi untuk dijawab dalam penggulungan nanti. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Sekarang.... Ada lagi?

Ada dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO berkait dengan projek cendawan di Tempinis. Mengikut pengalaman saya, Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu pernah mengadakan projek cendawan yang mana kalau tidak silap ingatan saya, 15 - 20 tahun yang lalu yang mana projek cendawan ini mendapat minat yang memberangsangkan kerana cara ternakan dan penanaman cendawan tidak begitu rumit. Cuma apabila tidak ada langkah kawalan ataupun persediaan yang dibuat oleh Kerajaan berkait dengan pemasaran, maka ramai daripada pengusaha-pengusaha cendawan tidak mampu untuk bayar balik hutang dengan masa itu, Bank Pertanian, Agrobank dan .....

Yang di-Pertua

Ya, soalannya Yang Berhormat.

Jadi soalan saya, adakah persediaan dibuat oleh Kerajaan berkait dengan kapasiti jangkaan pengeluaran cendawan dengan keperluan masyarakat?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat.

Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat bekas EXCO Pertanian yang menunjukkan minat yang tinggi kepada bidang pertanian. HPPC, Hab Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan di samping kita fokus kepada untuk mengembangkan industri cendawan segar dalam konteks kita di Terengganu ini, spesies tiram kelabu yang paling popular sekali. Kita juga fokuskan untuk mengembangkan produk hiliran daripada cendawan. Sekarang ini dah ada mi cendawan, murtabak cendawan, burger cendawan, sos cendawan, Ajis Cendawan macam-macam cendawan. Jadi, produk-produk ini dia akan jadi satu daripada strategi pemasaran kerana cendawan segar kita ini mungkin ada sedikit limitation dari segi permintaan dia dan yang menjadi masalah kepada pengusaha cendawan bila musim hujan. Saya tanya apa masalah, dia kata cendawan keluar banyak bila musim hujan melebihi daripada permintaan dan bila pengeluaran ini melebihi daripada permintaan kerana itulah kita bekerjasama rapat dengan MESTECC untuk mengembangkan lagi dari segi industri hiliran yang dihasilkan daripada produk cendawan tadi. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Saya persilakan Wakil Bandar kemukakan soalan.

Ahmad Shah bin MuhamedPAS · PNBandar

Yang di-Pertua, soalan saya, soalan yang pertama –

Apakah usaha Kerajaan di dalam menarik para pengunjung dari dalam dan luar negeri ke pusat-pusat peranginan yang popular di Terengganu seperti Sekayu, Tasik Kenyir dan lain-lain?

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, soalan daripada ADUN Bandar: Apakah usaha Kerajaan di dalam menarik para pengunjung dari dalam dan luar negeri ke pusat-pusat peranginan yang popular di Terengganu?

Kerajaan Negeri berterusan mempromosikan Terengganu sebagai pusat pelancongan yang terkemuka di Malaysia dan di dunia, insya-Allah. Antara usaha-usaha terkini yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri melantik Tyler Danial James yang dikenali sebagai Mat Dan, seorang selebriti yang terkenal di negara kita sebagai ikon pelancongan di Terengganu. Usaha ini dilihat sangat baik sekali dan seterusnya pihak Pelancongan Negeri dan Kerajaan Negeri juga telah pergi ke negeri-negeri di seluruh semenanjung dan termasuk Sabah dan Sarawak bagi melantik anak-anak Terengganu di perantauan, melantik mereka sebagai Duta Pelancongan ataupun yang dikenali sebagai Tourism Friends yang mana mereka sangat berminat untuk mempromosikan Terengganu dengan keindahan apa yang ada di Terengganu kita.

Kita juga telah mengadakan MATTA Fair yang pertama sekali pada di Terengganulah pada 28 Februari sehingga 2 Mac di Paya Bunga Square, Kuala Terengganu. Alhamdulillah, jualannya melebihi RM1 juta. Tujuan MATTA ini adalah untuk mempromosikan produk di negeri kitalah. Di samping kita sepanjang tahun terlibat di dalam MATTA Fair Malaysia.

Dan sebagaimana yang disoal pada semalam berkenaan dengan ECDC, insya-Allah, saya akan jawab dalam penggulungan nanti di mana Negeri Terengganu juga kita telah menubuhkan ECDC ini wakil dia Penubuhan Jawatankuasa bagi mempromosikan bersama di antara Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga Johor dan juga kita menggunakan teknologi terkini menerusi internet pemasaran atas talian yang semakin popular sekarang ini bagi mempromosikan Terengganu. Alhamdulillah dengan teknologi-teknologi moden sekarang ini kita dapat menerima kehadiran yang lebih baik pengunjung. Dan juga kita meneruskan Fan Trip di mana Fan Trip ini adalah kita invite dengan izin, mengajak blogger-blogger, wartawan-wartawan daripada luar dan kita bagilah sedikit imbuhan kepada mereka bagi kalau mereka pergi ke Kenyir, mereka naik houseboat dengan izin, dan lain-lain kemudahan penginapan dan seumpamanya bagi mereka sendiri menilai ataupun melihat keindahan Negeri Terengganu dan insya-Allah selepas daripada itu, mereka mempromosikan Terengganu di mata dunia. Wallahua’lam.

Ahmad Shah bin MohamedPAS · PNBandar

Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama. Selain daripada pusat pelancongan yang sedia ada, ada tak pihak pelancongan ataupun EXCO Pelancongan dan Jawatankuasa mengenalpasti tempat-tempat baru ataupun mewujudkan tempat yang munasabah untuk dijadikan pusat pelancongan?

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Terima kasih kepada yang bertanya, daripada ADUN Bandar. Sebenarnya Terengganu terkenal dengan produk yang begitu banyak sebab itulah kami meletakkan 5 kluster utama, Kuala Terengganu, Pulau dan lain-lain. Kami menubuhkan, Kerajaan Negeri menubuhkan satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan di setiap daerah iaitulah Majlis Tindakan Pembangunan Pelancongan Daerah bagi membincang dan mengenalpasti peluang dan permasalahan produk yang baharu dan sedia ada. Tujuan penubuhan ini supaya kita mengambil sikap decentralize dengan izin, di mana pihak Pejabat Daerah di daerah-daerah di Negeri Terengganu mengenal pasti tempat-tempat yang menarik bukan sahaja mengenalpasti tetapi membantu Kerajaan Negeri untuk memelihara dan mempromosikan produk-produk yang sedia ada. Sekian.

Ahmad Shah bin MohamedPAS · PNBandar

Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan yang kedua. Industri pelancongan berkait rapat dengan seni warisan. Bagaimana langkah kerajaan di dalam menubuhkan kembali industri kraf tangan warisan ini dan ada tak kita masukkan ataupun kita membuat garis panduan kepada mana-mana pakej pelancongan ataupun agensi pelancongan supaya mereka ini mesti ataupun dikenakan melalui, menyinggah di galeri-galeri ataupun tempat-tempat yang dikeluarkan produk-produk tersebut. Terima kasih.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Pihak Kerajaan Negeri dari masa ke semasa berusaha sebenarnya khususnya apabila terbentuknya secara agresif Majlis Tindakan Pembangunan Pelancongan Daerah yang akan kita bincangkan isu-isu sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Bandar tadi seperti pertukaran warisan bangsa yang semakin lesu. Perbincangan secara berkala bersama agen-agen pelancongan bagi memastikan pertukaran warisan bangsa ini tidak ketinggalan, sebagai contoh pada 23 hingga 25 April ini, Inbound Tourism Food Camp, err… satu Kursus Peningkatan Prestasi Pelancongan Inbound iaitulah dalaman akan diadakan di Primula Hotel, Hotel Primula di mana ianya akan membincangkan pakej yang akan melibatkan tempat terpilih di Terengganu termasuklah pusat-pusat pertukangan warisan bangsa sebagai contohnya tempat membuat batik dan lain-lain dan juga garis-garis panduan yang akan kita buat dari segi pakejnya macam mana dari segi pergi ke tempat tu, ke tempat ni insya-Allah, Waallahu ‘alam.

Yang di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat .....

Ahmad Shah bin MohamedPAS · PNBandar

Yang di-Pertua…

Soalan tambahan?

Ahmad Shah bin MohamedPAS · PNBandar

Soalan tambahan boleh, satu lagi?

Yang Berhormat Yang di-Pertua, berkait dengan soalan asal berkenaan dengan pelancongan di Negeri Terengganu, saya ingin mengemukakan satu soalan tambahan. Sebagaimana yang kita maklum dalam Manifesto PAS, PRU yang lepas mengemukakan antara apa yang akan dilaksanakan di Negeri Terengganu, Kerajaan baru di bawah PAS ini ialah Hab Pelancongan Islam. Sejauh manakah garis panduan Konsep Pelancongan Islam yang telah digubalkan? Terima kasih.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Okey, terima kasih kepada yang bertanya. Sebenarnya kita dari semasa ke semasa, insya-Allah kita sedang, terutamanya pakej-pakej pelancongan Islam dan juga hotel berasaskan Islam maksudnya tidak kita nafikan semua hotel sekarang ni sudah memenuhi sebahagian daripada kehendak Islam. Tapi kita akan memperkenalkan di mata dunia bahawa sebenarnya bila datang ke Terengganu mereka telah umpamanya halal muslim food, kalau di negara-negara luar mereka terpaksa misalnya di Hong Kong, di Tokyo, di Korea, hatta di Thailand sendiri mereka oleh kerana kedatangan pelancong Islam di seluruh dunia memang terlalu ramai sekarang ni, tapi Terengganu memang terkenal hampir semua kalau tidak hundred percent, sekitar 95% sudah beragama Islam dan tentulah mereka datang dengan mereka telah tahu bahawa negeri kita ni adalah negeri Islam. Walau bagaimanapun pakej-pakej Islamik ni kita akan perkasakan dari masa ke semasa termasuklah dalam seminar yang akan kita adakan yang saya sebutkan tadi kita akan selaraskan tentang perkara ini. Wallahu’alam.

Yang di-Pertua

Saya jemput .....

Ermm.. boleh saya .....

Yang di-Pertua

Ada lagi? Saya ingat masa tak mengizinkan tapi oleh kerana ADUN Wanita tak apalah, saya bagi jugak laluan.

Okey, terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. ...(Sambil gelak) .... Soalan saya juga berkaitan dengan pelancongan. Dalam usaha Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan melalui aktiviti-aktiviti pelancongan, adakah pihak Kerajaan membuka ruang kepada pelabur-pelabur luar untuk memajukan lokasi-lokasi pelancongan yang terbiar ataupun lokasi yang lesu, pelancongan yang lesu agar dapat dimajukan dengan lebih efektif?

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Pihak Kerajaan Negeri ..... Saya pun suka jugak nok jawab ni walaupun soalan lebih doh. Sebenarnya pihak Kerajaan Negeri sentiasa terbuka sebenarnya dan saya sendiri didatangi oleh pelabur-pelabur daripada luar antaranya daripada Selangor, bahkan ada daripada United Kingdom sendiri dan lain-lain negara, China dan lain-lain. Mereka ingin melabur dalam sektor pelancongan termasuklah Singapura yang datang dan juga saya bersama-sama dengan Yang Berhormat EXCO Pelaburan, Yang Berhormat Dato’ Tengku Hassan yang sentiasa didatangi. Selain daripada sektor-sektor lain sebenarnya mereka sangat teruja dengan keindahan negeri Terengganu dan ramai di antara mereka kalau asalnya dalam bidang lain bila datang ke Terengganu mereka akan melabur dalam sektor pelancongan dan ini suatu yang pada saya masa depan yang sangat baik dalam sektor pelancongan di Terengganu. Wallahu’alam.

Yang di-Pertua

Saya persilakan Y.B. Air Putih.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Hok laki dokleh lebih. Hok laki dokleh lebih.

Se agi?

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Dokleh, dokleh.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Biasa hak laki boleh lebih.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Takmboh izin dah.

Yang di-Pertua

Bukan masalah laki ni, bukan masalah laki- puan tapi telah guna masa terlalu panjang. Ramai kawan-kawan kita menunggu soalan masing-masing. Saya jemput Wakil Air Putih, sila.

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu –

Permintaan kepada Rumah Mampu Milik (RMM) di kalangan rakyat Negeri Terengganu sangat tinggi. Adakah pihak Kerajaan mempunyai apa-apa skim yang boleh merangsang pihak pemaju perumahan untuk membina lebih banyak RMM di atas tanah Kerajaan?

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dr. Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai Kerajaan. Terima kasih kepada Wakil Air Putih. Wakil Air Putih bertanya soalan yang berbunyi: Permintaan kepada Rumah Mampu Milik (RMM) di kalangan rakyat Negeri Terengganu sangat tinggi. Adakah pihak Kerajaan mempunyai apa-apa skim yang boleh merangsang pihak pemaju perumahan untuk membina lebih banyak RMM di atas tanah Kerajaan?

Untuk makluman Yang Berhormat dan Ahli-ahli Dewan sekalian, pada masa ini, pada masa ini kita masih lagi menggunapakai Dasar Perumahan Bagi Projek-projek Swasta Negeri Terengganu yang diperbaharui pada tahun 2017. Jadi baharu lagi dasar ini, setelah kita mengambil alih kuasa pada bulan Mei saya tengok dalam masa enam bulan pertama ramai pemaju-pemaju yang mengadu kepada kita dasar ini agak tidak memberi keuntungan kepada pemaju-pemaju swasta dengan syarat yang kita tetapkan iaitu setiap tanah yang berkeluasan lebih dari 3 hektar wajib memenuhi kriteria-kriteria berikut. Kita menetapkan tiga (3) jenis Rumah Mampu Milik: Yang pertamanya, mereka mesti membina Rumah Mampu Milik Jenis A dengan kadar 20% daripada jumlah keseluruhan rumah yang akan dibina dan harganya adalah RM68,000 tetap, harga RM68,000 sebuah dengan keluasan 800 kaki persegi. Ini yang menjadi persoalan kepada pemaju-pemaju swasta kerana dia terpaksa top-up ataupun subsidi kepada Rumah Jenis A ini sekitar RM60,000 hingga ada sampai RM100,000 kerana kos untuk rumah keluasan 800 kaki persegi rata-rata mengatakan antara RM120,000 hingga RM150,000. Ini yang menjadi merasakan begitu membebankan mereka dengan kadar 20% dan golongan ini memang ramai yang memohon kerana ini adalah golongan yang B40 yang pendapatan kurang daripada RM3,500 sebulan, Pendapatan Isi Rumah. Dan hari ini permohonan untuk golongan ini sudah mencecah hampir 130,000 dalam sistem kita online.

Yang kedua, Rumah Jenis B, juga dengan kadar 20% dengan keluasan 900 kaki persegi harga ditetapkan antara RM68,001 sehingga RM185,000. Ini untuk pendapatan antara RM3,500 hingga tidak melebihi RM10,000.

Yang ketiga, Rumah Jenis C, juga dengan kadar 20% jumlah rumah yang akan dibina dan harga ditetapkan antara RM185,001 sehingga RM300,000 keluasan 1000 kaki persegi dan yang 40% lagi terpulang kepada pihak pemaju hendak buat berapa luas dan berapa harga dia.

Yang menjadi isunya atau halangan kepada kebanyakan pemaju-pemaju ialah harga Rumah Mampu Milik yang terpaksa mereka tanggung perbezaan nilai sebenar yang mereka bina dengan harga yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan dan yang kedua peratus yang kita tetapkan.

Jadi untuk itu, kita sekarang telah enam bulan saya pun mengambil keputusan untuk mengkaji semula dasar ini dan kita telah berbengkel dan insya-Allah dalam masa yang terdekat kita akan keluarkan satu dasar baru dan kita harap akan lebih memberi lebih mesra kepada pemaju dan tidak mengabaikan tanggungjawab pemaju swasta untuk membina Rumah Mampu Milik untuk rakyat di Negeri Terengganu ini. Terima kasih.

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Soalan tambahan saya yang pertama: Adakah Pihak Kerajaan membuat kajian melalui Pejabat Tanah kawasan-kawasan tanah Kerajaan yang diberi kepada pemaju membina rumah-rumah tersebut? Terima kasih.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Terima kasih kepada Wakil Air Putih. Memang pihak Kerajaan khususnya di Bahagian Perumahan telah kita mengenal pasti untuk seluruh Negeri Terengganu banyak kawasan-kawasan yang boleh kita yang tanah Kerajaan yang akan kita bina Rumah-rumah Mampu Milik untuk rakyat ini. Sebagai contoh untuk tahun ini kita telah menyediakan tanah-tanah yang telah kita kemukakan antaranya kepada pihak swasta, kita ada di Kemaman tiga tempat, di Mak Lagam ada tiga kawasan di situ, kita ada di Hulu Besut, kita ada di Besut dua tempat, kita ada di Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan juga di Kuala Nerus. Dari segi tanah kita tidak ada masalah memang kita mempunyai Bank Tanah yang banyak untuk dikemukakan kepada pemaju. Yang masalahnya adalah pemaju tidak sanggup kerana syarat yang kita tentukan itu tidak begitu menguntungkan mereka. Terima kasih.

Soalan tambahan. Saya ingin penjelasan apakan benar Kerajaan Negeri telah mengadakan kolaborasi dengan sebuah syarikat yang bernama Tok Arau Sdn. Bhd untuk membina Rumah-rumah Mampu Milik dan Kos Rendah di seluruh Negeri Terengganu dan apa statusnya sekarang? Terima kasih.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Terima kasih Wakil Kijal. Tok Arau ni saya ingat yang zaman dululah, kita dah batalkan semua apa ni perjanjian itu dan kita buka kepada tender baru, kita tidak terikat lagi dengan yang lama. Setakat ini kita tidak menggunakan cara yang lama itu.

Yang di-Pertua

Saya persilakan Wakil Ajil.

Maliaman bin KassimPAS · PNAjil

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan saya nombor satu -

Mohon pencerahan mengenai jumlah keseluruhan pusat penempatan orang miskin (POM) di seluruh negeri?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum Tuan Yang di-Pertua, soalan daripada Wakil Ajil: Mohon pencerahan mengenai jumlah keseluruhan pusat penempatan orang miskin di seluruh Negeri Terengganu?

Jumlah keseluruhan pusat penempatan orang miskin di Negeri Terengganu ialah sebanyak 11 buah.

Maliaman bin KassimPAS · PNAjil

Soalan tambahan saya yang pertama. Mohon diberi secara terperinci tentang lokasi serta rumah dan juga keluarga yang mendiami pusat penempatan orang miskin di seluruh Terengganu? Terima kasih.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih kepada Wakil Ajil. Ada 11 buah penempatan: Yang pertama ialah Taman Rahmat Marang, bilangan rumah 54 buah, bilangan keluarga 54.

Yang kedua ialah Kampung Macam Ajil, Hulu Terengganu Taman Hidayah, bilangan rumah 15, bilangan keluarga 7, 5 buah rumah telah rosak dan tidak didiami.

Yang ketiga, Taman As-Asyakirin Kampung Saujana Setiu, bilangan rumah 10, bilangan keluarga 9, 1 buah rumah rosak dan tidak boleh didiami.

Yang keempat ialah Penempatan Orang Tua Dan Miskin Rhu Sepuluh Setiu, bilangan rumah 10, bilangan keluarga 10.

Yang kelima ialah Penempatan Orang Tua Dan Miskin Merang Setiu, bilangan rumah 9, bilangan keluarga 5, 4 buah rumah rosak tidak boleh didiami.

Yang keenam ialah Penempatan Orang Tua Dan Miskin Kampung Bukit Kecil Setiu, bilangan rumah 8, bilangan keluarga 2, 6 buah rumah rosak tidak boleh didiami.

Yang ketujuh ialah Kampung Gertak 100 Besut, Besut, 8 bilangan rumah, bilangan keluarga 7, satu buah rumah rosak.

Yang kelapan ialah Kampung Gong Mak Som Besut, bilangan rumah 8, bilangan keluarga 7, 1 buah rumah rosak.

Yang kesembilan Kampung Tembila Besut, bilangan rumah 9, bilangan keluarga 9.

Yang kesepuluh ialah Kampung Sura Hujung Dungun, bilangan rumah 10, bilangan keluarga 2, 5 buah rumah rosak dan tidak boleh didiami.

Yang terakhir 11 ialah Kampung Batu Empat Kampung Binjai Kemaman, bilangan rumah 10, bilangan keluarga 9, 1 buah rumah rosak.

Maliaman bin KassimPAS · PNAjil

Soalah tambahan saya yang kedua. Mohon dinyatakan berkenaan dengan syarat-syarat untuk mendiami penempatan tesebut? Terima kasih.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Tuan yang di-Pertua, antara syarat-syarat dan kelayakan pemohon ialah:

1. Rakyat Negeri Terengganu atau mereka yang bermastautin di negeri ini tidak melebihi 10 tahun.

2. Keluarga yang telah didaftarkan sebagai rakyat miskin atau termiskin.

3. Pendapatan keluarga di bawah garis kemiskinan iaitu RM720.

4. Warga tua atau keluarga miskin yang daif serta tidak mempunyai tempat kediaman atau tidak mempunyai saudara mara yang boleh membantu.

5. Tidak memiliki tanah sendiri.

6. Syarat penempatan adalah berbentuk sementara transit bagi mereka yang sudah mempunyai taraf sosial ekonomi yang baik tidak dibenarkan untuk terus menetap di penempatan ini.

7. Rumah yang didirikan di atas Milik Kerajaan dan diberi untuk didiami percuma kepada mereka yang layak. Jika penghuni meninggal dunia atau taraf sosial ekonomi telah melepasi garis kemiskinan, rumah tersebut akan diambil balik dan diberi kepada orang lain yang layak pula. Sekiranya penghuni meninggal dunia dan meninggalkan balu penyiasatan akan dilakukan oleh JKM. Sekiranya mereka didapati layak boleh dipertimbangkan serta dibenarkan untuk terus tinggal di rumah itu.

Terima kasih.

Maliaman bin KassimPAS · PNAjil

Saya mohon mencadangkan kepada pihak Kerajaanlah supaya menukar nama Penempatan Orang Miskin ini kepada suatu nama yang lebih harmoni seperti yang ada di Taman Hidayah dan Taman Rahmat tapi kalau bolehnya kita mohon tukar keseluruhannya sebab bila kita namakan dengan nama POM ni (Penempatan Orang Miskin), jadi nama itu sendiri sesak dah, susah dah. Jadi kalau kita nak tukar kepada nama yang lebih harmoni seperti Penempatan Masyarakat Sejahtera ke, selaras dengan PPRT pun sudah ditukar kepada Program Penempatan Terengganu Sejahtera. Terima kasih.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Ya, Kerajaan sedia menerima pandangan tersebut dan saya akan bawa ke dalam Mesyuarat Portfolio. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua, tadi Yang Berhormat EXCO ada menjawab bahawa penduduk ataupun rakyat Terengganu yang duduk tidak melebihi 10 tahun kita dengar tadi tu hak layak menduduki POM ni. Jadi rasa kena betul balik. Kita dengar tidak melebihi 10 tahun duduk kita dengar tadi kita takut mengelirukan Pemerhati kita ni. Okey. Cuma soalan saya yang rosak-rosak tadi sebab kita di Kuala Besut pun ada sebuah yang rosak, adakah perancangan pihak Kerajaan nak baiki ke, nak baikpulih ke, atau pun nak biar gitu jer. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Insya-Allah kita akan cuba baik pulihlah pada tahun ini.

Yang di-Pertua

Seterusnya saya jemput Wakil Kemasik.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan saya nombor dua -

Berapakah statistik kanak-kanak yang terabai dan terbiar yang disebabkan oleh masalah keluarga seperti bapa atau ibu penagih, penceraian atau masalah sosial lain?

Mohd Nor bin HamzahPAS · GSBukit Payung

Terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker, Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Kemasik. Soalan dua daripada Yang Berhormat Kemasik: Berapakah statistik kanak-kanak yang terabai dan terbiar yang disebabkan oleh masalah keluarga seperti bapa atau ibu penagih, penceraian atau masalah sosial lain?

Jawapannya bagi tahun 2016 telah melibatkan seramai 39 orang kanak-kanak yang mana 23 orang terdiri daripada masalah ibu bapa penagih, penceraian keluarga 7 orang dan masalah sosial seramai 9 orang.

Tahun 2017 pula telah melibatkan seramai 68 orang kanak-kanak, yang mana 36 orang terdiri daripada ibu bapa penagih, penceraian keluarga 16 orang dan masalah sosial seramai 16 orang.

Manakala bagi tahun 2018 telah melibatkan seramai 105 orang kanak-kanak iaitu yang melibatkan ibu bapa di kalangan penagih seramai 30 orang, penceraian keluarga 23 orang dan masalah sosial seramai 52 orang.

Soalan tambahan pertama saya bagaimanakah status keadaan anak-anak yang terabai tersebut, adakah mereka juga terlibat ataupun terikut-ikut dengan mak ayah mereka?

Mohd Nor bin HamzahPAS · GSBukit Payung

Untuk mengelakkan daripada mengikuti keadaan ibu bapa mereka, tindakan telah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mempastikan permasalahan itu tidak timbul. Sehingga hari ini persoalan itu terkawal dan terjamin.

Soalan tambahan kedua saya adalah: Inisiatif ataupun tindakan Kerajaanlah sebagaimana yang telah dijawab oleh Ahli EXCO cumanya sudah pasti perkara yang sangat penting untuk mereka adalah berkenaan dengan agama mereka dan masa depan merekalah. Apa yang kita lihat di lapangan, ibu bapa mereka yang terutama sekali berkenaan dengan dadah seakan-akan sampai bila-bilalah lebih kurang, boleh disebutnya, jadi mereka terabai dan anak- anak golongan ini biasanya ramai-ramai, ada sepuluh, ada tujuh. Wallahua’alam.

Mohd Nor bin HamzahPAS · GSBukit Payung

Beberapa tindakan yang telah diambil: Yang pertama, menyediakan Perkhidmatan Kaunseling terhadap kanak-kanak itu sendiri. Yang kedua, menyediakan Bengkel Interaktif kepada ibu bapa dan kanak-kanak. Ketiga, Menyediakan Bantuan Kewangan kepada ibu bapa sekiranya layak. Keempat, Menyediakan Perkhidmatan Pusat Aktiviti Kanak-kanak, supaya mereka terjaga. Sehingga hari ini Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu mempunyai 14 buah Pusat Aktiviti Kanak-kanak. Yang kelima, menyediakan perkhidmatan kemasukan kanak-kanak ke institusi tertentu melalui Seksyen 31 (d) Akta Kanak-kanak 2001. Dan yang seterusnya juga program juga diteruskan dan dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga dan MPKK yang berkaitan. Insya-Allah.

Yang di-Pertua

Sekarang saya jemput yang terakhir ya, ADUN Wanita untuk mengemukakan Soalan Lisan.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan saya soalan satu –

Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan RM500,000 untuk pemeriksaan pap smear dan mammogram secara percuma kepada rakyat wanita Terengganu yang berumur 35 tahun dan memenuhi syarat. Sejauh manakah program ini mendapat sambutan dan adakah akan diteruskan untuk tahun 2019?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Tuan Yang di-Pertua, soalan pertama ialah: Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan RM500,000 untuk pemeriksaan pap smear dan mamogram secara percuma kepada rakyat wanita Terengganu yang berumur 35 tahun dan memenuhi syarat. Sejauh manakah program ini mendapat sambutan dan adakah akan diteruskan untuk tahun 2019?

Tuan Yang di-Pertua, sebagai permulaan Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan RM190,000 kepada LPPKN Negeri Terengganu bagi pelaksanaan program ini pada tahun 2018. Bagi tempoh April hingga Disember 2018, sejumlah 506 orang wanita telahpun menjalani Ujian Pap Smear manakala bagi bujang subsidi mamogram pula seramai 500 orang wanita telah menjalani pemeriksaan menerusi pelbagai program-program anjuran Kerajaan Negeri. Bagi tahun 2019 program ini akan diteruskan lagi setelah ianya mendapat sambutan yang agak baik daripada kalangan wanita.

Soalan tambahan saya yang pertama. Apakah objektif perlaksanaan program ini dan mohon dikongsikan kumpulan atau pun golongan sasaran manakah yang disasarkan bagi manfaat pelaksanaan program ini dapat dijalankan. Dan untuk makluman semalam saya mendapat laporan daripada Hospital Besar Kuala Terengganu setiap tahun ada kes baru, new case, contohnya dalam 2016 ada 84 orang, 2017 ada 130 orang dan 2018 ada 122 orang. Jadi soalan saya apakah promosi atau pun publisiti yang dijalankan bagi memastikan program ini berkesan dan sampai kepada semua wanita yang berada di seluruh pelosok Negeri Terengganu.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Tuan Yang di-Pertua, antara objektif program ini ialah yang pertama meningkatkan kesedaran golongan wanita mengenai kepentingan Ujian Pap Smear dan Ujian Subsidi Mamogram. Yang kedua meningkatkan jumlah wanita untuk menjalani Ujian Pap Smear dan Ujian Subsidi Mamogram. Yang ketiga, mengenalpasti dan mendapatkan rujukan bagi wanita yang mengalami pra kanser dan kanser serviks dan payudara untuk tindakan susulan.

Dengan kemajuan teknologi terkini yang berkembang pesat kebanyakan wanita yang dikesan menghadapi penyakit kanser serviks dan kanser payudara pada peringkat awal masih boleh dirawat dan diselamatkan. Namun begitu menurut Nasional Health dan Morbidity Survey 2006, hanya 47.3% sahaja wanita yang menjalani Ujian Pap Smear. Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan sebanyak 2000 hingga 3000 kemasukan ke hospital bagi kes kanser serviks dan setiap tahun. Kanser serviks adalah kanser dengan kekerapan ketiga tertinggi dalam kalangan wanita Malaysia. Walau bagaimanapun usaha telah dilakukan seperti menjalankan program saringan Ujian Pap Smear dan program-program kesedaran kepentingan menjalankan saringan Ujian Pap Smear, kadar kematian disebabkan kanser ini masih lagi tinggi. Perlaksanaan program khas TP9 ini diberikan secara percuma dengan memfokuskan kepada kumpulan sasar seperti Warganegara Malaysia atau penduduk tetap Negeri Terengganu, wanita berkahwin atau pernah berkahwin, kumpulan berisiko yakni di bawah umur 18 tahun yang berkahwin atau belum berkahwin tetapi aktif seksual. Yang keempat, wanita yang berusia 35 tahun ke atas bagi Ujian Subsidi Mamogram.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Terengganu telah dipilih selaku agensi utama untuk melaksanakan program ini memandangkan perkhidmatan Ujian Pap Smear atau Saringan Kanser Pangkal Rahim disediakan di setiap Klinik Nur Sejahtera dan Klinik Subfertiliti LPPKN di seluruh negara. Untuk makluman perkhidmatan ini telah diberikan kepada 13,120 orang klien LPPKN seluruh negara pada tahun 2016.

Untuk makluman juga, Hospital Salam Kuala Terengganu juga telah dilantik sebagai rakan strategi LPPKN untuk menjalankan ujian subsidi mamogram memandangkan hospital ini adalah diberikan akrediterasi oleh Kolej Radiologi Malaysia bertauliah untuk menjalankan ujian mamogram yang mana ianya memerlukan peralatan mesin terkini telah memenuhi syarat serta mampu memberikan keputusan ujian yang tepat.

Kaedah perlaksanaan pula dijalankan oleh Pejabat LPPKN Terengganu adalah melalui pendekatan berikut. Yang pertama, penyediaan perkhidmatan di tiga buah Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut. Yang kedua, Program Subsidi Ujian Mamogram di Hospital Salam. Dan yang ketiga ialah Program Temu Seru yakni turun padang menggunakan Pusat Keluarga Bergerak Bas yang dijalankan di seluruh Negeri Terengganu.

Yang di-Pertua

Ahli Yang Berhormat sekalian, kita selesai selesai sesi soalan lisan, saya fikir saya dah cover semua mana yang tak sempat semalam. Saya tangguhkan sementara Dewan ini dan sambung semula pada pukul 11.10 minit.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.40 PAGI.

PUKUL 11.15 PAGI

Perbahasan

Yang di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Mesyuarat disambung semula. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita masih lagi dalam sesi perbahasan keatas Usul Menjunjung Kasih Keatas Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan dan sebagaimana yang saya janjikan kelmarin kepada Wakil Manir, tak sempat nak habiskan dalam masa yang diperuntukkan, sebelum pada itu saya juga nak ingatkan masa kitapun sebenarnya tidak banyak, jadi saya persilakan Wakil Manir untuk menyambung perbahasan dalam tempoh masa 7 minit sahaja. Dipersilakan.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, menyambung apa yang telah disebut semalam, berkenaan dengan perkara point-point yang positif yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri di antaranya penerapan nilai-nilai Islam yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri, antaranya menutup premis-premis pasar malam, 15 minit untuk Solat Maghrib. Di antara praktiknya yang telah dibuat di Medan Selera Jertih. Insya-Allah, akan diperluaskan di seluruh negeri. Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, sebenarnya ramai yang berpendapat Kerajaan Negeri berada di .... Digunakan istilah dengan izin, ‘on the right track’ di peringkat pengurusan masing-masing.

Walaupun tidak dinafikan terdapat kekurangan-kekurangan yang sudah tentu ada, rakyat boleh menerima kekurangan ini kerana Kerajaan dilihat melaksanakan janji-janji manifesto yang telah dibuat sebelum pilihan raya baru-baru ini. Mereka menyedari kesukaran pengurusan perbelanjaan Kerajaan Negeri disebabkan pembayaran wang tunai petroleum yang dibayar secara berperingkat, ditambah lagi dengan informasi yang telah diterima sebentar tadi dicabut 25% untuk dibayar hutang State dengan Federal. Ditambah lagi dengan keadaan yang lebih parah, dengan deffered payment projek-projek yang terdahulu dalam masa yang sama, Federal mempunyai hutang dengan State sebagaimana yang saya dimaklumkan tadi dalam jumlah yang sebanyak RM1.6 bilion. Tetapi saya juga ada menyuarakan ataupun mempersoalkan Soalan Bertulis saya berkenaan dengan: Berapakah jumlah hutang Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri? Tetapi jawapan yang saya terima, Kerajaan Pusat tidak mempunyai apa-apa hutang dengan Kerajaan Negeri sehingga tahun berakhir 31 Disember 2018. Saya rasa mungkin hutang Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri digunakan istilah lain, mungkin itulah yang saya husnuzon saya dengan jawapan ini.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, dengan jumlah yang besar itu, Kerajaan mempunyai tanggungjawab yang besar, rakyat menjadi mangsa penderaan. Sebenarnya rakyat Negeri Terengganu bersama kepimpinan negeri, mengharapkan Kerajaan Pusat memberikan hak kami sebagaimana sepatutnya, jangan mendera kami rakyat Negeri Terengganu. Dan dalam keadaan yang umum mengetahui bahawa Negeri Terengganu adalah antara negeri yang mempunyai telaga-telaga minyak yang terbanyak.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, walaupun keadaan kesukaran dan kegusaran ini, rakyat sebenarnya ingin melihat dan merasai sesuatu untuk diri mereka sendiri yang datang dari Kerajaan Negeri dalam bentuk dan keadaan yang segera dan tahniah saya ucapkan kepada pihak Kerajaan yang telah membuka ruang kepada pengusaha-pengusaha kecil, petani-petani dan pemula-pemula perniagaan sebanyak RM15 juta yang telah diluluskan dalam Bajet 2019 pada baru-baru ini. Ianya dibawah seliaan Yayasan Pembangunan Usahawan yang dipecahkan di bawah Pertanian dan juga Kebajikan.

Pun begitu, saya bersependapat dengan Y.B.-Y.B. yang lain berkenaan dengan Perumahan Rakyat yang menjadi satu permasalahan dan isu yang besar kepada rakyat Terengganu. Bila mana dalam keadaan Terengganu diketahui keadaan ekonominya dan kewangan yang terhad ini, pelabur-pelabur sebenarnya ingin melabur di Negeri Terengganu. Mereka mengharapkan Kerajaan menjadi pemudahcara bagi membangunkan Negeri Terengganu. Mereka di antaranya pelabur-pelabur dan player-player dalam bidang construction ataupun perumahan. Kita ambil contoh pelabur-pelabur perumahan dengan polisi yang lama sebagaimana disebut oleh EXCO Perumahan tadi seolah-olah tidak membuka ruang kepada pelabur untuk melabur di Negeri Terengganu. Insya-Allah kita mengharapkan dengan polisi yang baru, yang bakal kita nantikan nanti merancakkan pembangunan perumahan rakyat dipelbagai kategori pendapatan rakyat. Ini adalah kerana jika kita perhatikan, mereka yang berpendapatan ataupun suami isteri yang isi rumahnya berpendapatan RM3,600.00 hingga RM4,500.00 sebulan, kebanyakan golongan ini tidak mampu untuk membeli rumah-rumah yang telah dibina di Negeri Terengganu disebabkan oleh kekurangan rumah yang dibina dibawah Kategori B iaitu kategori RM68,001.00 hingga RM185,000.00 yang berkeluasan dengan keluasan 900 kaki persegi. Tetapi mereka sebenarnya dalam paksa, mampu dalam paksa untuk menyewa rumah dengan kadar bayaran RM400.00 hingga RM500.00 sebulan. Andai kata perumahan Kategori B ini dapat dirancakkan, insya-Allah kita dapat melihat dan mengurangkan menantu-menantu yang menumpang paksa dan malu di rumah mentua masing-masing.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, akhirnya Manir mohon menyokong Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Manir yang telah menggunakan masa yang diperuntukkan. Sebelum saya teruskan usul ataupun Perbahasan Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan, saya nak tahu berapa ramai yang nak bercakap hari ini? Okey. Saya jemput Wakil Air Putih. Dipersilakan.

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahir Rabbil alamin. Assalatu wassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Saidina Muhammadin Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

Amma Ba’d. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan seterusnya para Pemerhati sekalian. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua telah memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam Perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Air Putih merafakkan sembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan mencemar duli berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kali Keempat Belas. Tuan Yang di-Pertua, Duli Yang Maha Mulia Sultan telah menyentuh berbagai-bagai aspek yang melibatkan kepentingan rakyat dan negeri demi merealisasikan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.

Dengan perbahasan ini, saya ingin menyentuh beberapa aspek yang terdapat dalam Titah Ucapan Yang Maha Mulia Tuanku, di antaranya berhubung dengan pelaburan modal insan yang berkualiti mempunyai nilai murni, berakhlak mulia dan berdaya saing. Tuanku telah mengambil maklum hasrat Kerajaan Negeri dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI). Kini Kerajaan telahpun menubuhkan enam buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman dan akan menubuhkan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) pada awal tahun depan. Alhamdulillah.

Bagi mencapai hasrat penubuhan SRIDI dan SMIDI ini sudah tentu ia memerlukan beberapa elemen yang penting, diantaranya tenaga pengajar. Adakah guru-guru yang dilantik mengajar di SRIDI terdiri daripada mereka yang berpengalaman yang mendapat latihan perguruan. Dan sesungguhnya untuk menjadikan SRIDI dan SMIDI ini berjaya mendapat matlamatnya, para guru, pendidik, mesti diisi sepenuhnya dengan ilmu pendidikan sama ada segi teori mahupun praktikal. Tugas guru mengajar kanak-kanak di peringkat awal sekolah sangat memerlukan pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan. Guru mestilah menguasai teknik kaedah dan ilmu psikologi kanak-kanak. Oleh itu, kursus dan latihan perguruan sama ada sepenuh masa, ataupun berkala sangat penting diadakan. Begitu juga, dari segi perjawatan, adakah guru-guru yang dilantik menjawat jawatan di SRIDI dan SMIDI ini dilantik secara kontrak ataupun secara taktikal dan apakah kelayakannya yang dipilih untuk menjawat jawatan di SRIDI ataupun SMIDI.

Tuan Yang di-Pertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga ada dalam Titahnya ada menyebut Bajet 2019 tentang keupayaan Kerajaan berhubung dengan pembinaan Rumah Mampu Milik sebanyak 20,000 unit dalam tempoh lima tahun. Dan kini empat projek dalam pelaksanaan dengan jumlah sasaran keseluruhan 710 unit. Walau bagaimanapun saya tak jemu-jemu untuk berharap pihak Kerajaan, sebab dalam DUN saya Air Putih sehingga sekarang tidak ada lagi, tidak ada lagi, projek-projek perumahan yang dibina oleh Kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri kerana telah mensasarkan, 20,000 unit dalam tempoh lima tahun. Walaupun jumlah ini masih belum mencukupi berbanding dengan permintaan keperluan rumah sekarang ini. Oleh yang demikian, Kerajaan perlu mengambil langkah yang drastik dan memberi ruang dan peluang kepada pihak swasta untuk bina Rumah Mampu Milik di atas tanah Kerajaan. Tidak dapat dinafikan bahawa setakat ini banyak pihak swasta terlibat dengan pembinaan Rumah Mampu Milik negeri ini. Dan juga untuk mengkaji dasar pembinaan rumah oleh pihak swasta, dan saya mencadangkan untuk skim ataupun insentif bertujuan meransang pihak swasta agar lebih banyak lagi pemaju yang akan mengambil bahagian dengan projek pembinaan Rumah Mampu Milik, selain daripada rumah-rumah kos sederhana di atas tanah Kerajaan. Tadi kita sudah dengar Yang Berhormat Bukit Tunggal ada menyebut bahawanya Dasar Perumahan masih lagi menerima pakai dasar tahun 2017, kita harapkan dasar ini memberi peluang kepada pemaju perumahan dapat insentif dan sebagainya.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, di samping keperluan asas tempat tinggal, keperluan prasarana seperti kemudahan asas, juga perlu diberi perhatian oleh pihak Kerajaan dan di dalam Negeri Terengganu yang mempunyai Dana Petroleum yang ratusan juta ringgit saban tahun, mana mungkin masih ada kampung-kampung yang masih belum mendapat bekalan air bersih. Air Putih ingin sebutkan di sini yang DUN saya masih ada lagi kampung-kampung yang belum mempunyai saluran air paip yang bersih. Rakyat masih menggunakan air sungai, dan air alur sungai sebagai keperluan asas mereka. Tahniah pihak SATU sudah ada menghantar tangki untuk rakyat ambil air secara angkut. Kami memerlukan air, macam kampung-kampung lain, inilah keluhan rakyat di kampung yang terlibat. Mereka sudah bosan dengan permintaan dan jawapan dari pihak yang berkenaan, bajet sudah lulus tetapi sehingga sekarang keadaan masih tidak berubah, ibarat buah atas pokok tapi tak luruh-luruh. Hogeh, hingguk, kocok, tangkai masih liat lagi. Kami masih menderita itulah ucapan orang kampung yang terlibat.

Yang di-Pertua, berhubung dengan isu ini, Pejabat DUN menjadi lebuk dengan kehadiran mereka orang kampung yang datang menagih air bersih. Walaupun air bersih, air putih namun air tidak ada di kampung-kampung yang berdekatan dengan Sungai Air Putih. Kiranya mampu menggunakan perkataan: “Bersabarlah wahai pokcik weh”. Oleh itu dalam Dewan yang mulia ini, saya merayu kepada pihak Kerajaan, sudi kiranya dapat mempercepatkan masalah rakyat ini. Orang Kampung berpantun:

Ayam jaguh bersisik taji,

Tersengih-sengih si anak dara,

Malang sungguh nasib kami,

Menagih simpati tak kunjung tiba.

..... (Tepukan Sokongan) .....

Makan bihun mendengar lagu,

Lagu dendangan nenek kebayan,

Bertahun-tahun kami menunggu,

Air oh air di mana mu gerangan.

..... (Tepukan Sokongan) .....

Beruk Pok Long jangan diganggu,

Anak Mak Limah mati kelaparan,

Walau bertahun kami menunggu,

Tetap istiqamah dalam perjuangan

..... (Tepukan Sokongan) .....

Haji Bazlan bin Abd.RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Air Putih dahkan?

Ab.Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Monyet Cik Jat sekampung sayangi,

Membantu rakyat sambil berbakti,

Wahai Kerajaan tunailah hajat kami ini,

Air bersih kami sedang sudi menanti.

Inilah pantun orang kampung ni. Orang kampung yang takdok air.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat EXCO Infra kena jawab dengan pantun jugak lepas ni.

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Yang Mulia Tuanku, juga bertitah, Kerajaan diberi harap memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, kerana pelancongan merupakan sumber yang boleh memberi pulangan yang baik kepada Kerajaan, mahupun rakyat. Peluang rakyat mencari rezeki dan sedikit sebanyak juga dapat merubah kedudukan suasana-suasana dari mundur kepada maju. Sudah banyak pusat pelancongan pantai, pulau, chalet, hotel, resort dan macam-macam lagi prasarana dibuat demi menarik pelancong.

Di samping perkara di atas, saya mencadangkan agar Pusat Pengajian Pondok dijadikan Pusat Pelancongan. Institusi Pondok, saya kira ada potensi untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan sama ada domestik ataupun luar negara. Menepati konsep Kerajaan Maju, Berkat dan Sejahtera saya mencadangkan agar Terengganu merintis Pondok Mesra Pelancongan, sama ada memanfaatkan Sekolah Pondok yang sedia ada atau membina sebuah Pondok Moden yang mesra pelancong di samping, pengajian pondok berjalan seperti biasa. Pondok berkonsepkan mesra pelancong telah menyediakan penginapan, kos rendah yang boleh menyambut pengunjung antara 40 dan 100 orang, dalam satu-satu masa. Tempat letak bas pelancongan, gerai-gerai makanan yang dibuka dari pagi hingga malam, gerai menjual kitab, barang kraf dan slot-slot Kuliah Agama khusus untuk pelancong perlu diadakan. Kaedah pelancong begini memberi ruang dakwah untuk berkembang subur di Negeri Terengganu Darul Iman. Di Aceh sebagai contoh, terbukti pondok atau pesantren, di sana mampu menarik minat pelancong. Ramai rakyat negara ini mengambil pakej lawatan ke Aceh dengan melawat pondok dan pesantren di sana. Malah ada yang datang memberi sumbangan dan sebagainya.

Tuan Yang di-Pertua, sepertimana Kerajaan sudah maklum DUN Air Putih laluan jalan yang penting yang dibuat projek naiktaraf jalan yang melibatkan pengambilan tanah rakyat di antaranya yang terkesan dengan projek ini ialah dua keadaan. Yang pertama, tanah milik dan yang kedua tanah milik Kerajaan (ROW). Lebih kurang 70 buah rumah kediaman rakyat dan tanah milik Kerajaan dan melalui Dewan yang mulia ini buat kali yang kedua saya merayu kepada pihak Kerajaan sudi kiranya dapat mempertimbangkan untuk memberi saguhati kepada yang terlibat dengan penaikkan taraf jalan ini walaupun tidak ada dalam undang-undang pun membayar kepada pemilik rumah kediaman atas tanah Kerajaan, saya memohon dan saya merayu kepada Kerajaan supaya sedikit saguhati diberikan kepada rakyat yang terlibat dengan pembinaan naiktaraf jalan tersebut.

Akhir sekali saya mohon menyokong Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan. Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakil Air Putih. Saya akan beri peluang yang pastinya insya-Allah kepada Ketua Pembangkang dan juga Wakil Batu Burok, sementara itu saya bagi peluang setakat masa yang ada kepada Ahli Berhormat yang lain yang masih belum bercakap. Sila Wakil Telemong.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Bismillahir Rahmani Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabaratuh. Alhamdulillahir rabbil alamin. Assalatu wassalamu’ala asyrafil iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan seterusnya para hadirin Pemerhati yang saya kasihi sekalian.

Pertamanya saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang dan peluang kepada saya walaupun sedikit masa insya-Allah saya akan cuba sependek dan juga sebaik mungkin dengan waktu yang diberikan kepada kita. Saya juga mengambil kesempatan wakil daripada Telemong ingin merafak sembah serta menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas Titah Ucapan Kebawah Duli Tuanku pada dua hari yang lepas.

Yang Berhormat Yang di-Pertua dan tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin, Dato’-Dato’ yang saya kasihi sekalian, sejak daripada hari semalam kita mendengar berbagai-bagai pandangan dan juga ucapan perbahasan daripada rakan-rakan kita sama ada daripada sebelah sini dan juga rakan-rakan kita di sebelah pihak Kerajaan. Dan kita rasa bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana kita sudah memperlihat bahawa sudah ada satu kelainan di dalam Dewan yang mulia kita ini yang mana kita sudah menampak bibit-bibit yang telah dibawa untuk persefahaman untuk kepentingan rakyat Terengganu lebih diutamakan oleh Yang Berhormat -Yang Berhormat yang berada dalam Dewan pada masa sekarang ini.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, sehinggakan membuatkan rakan-rakan saya sebelah daripada sini pun jadi serba salah kok kek kok kek gitu nok cakap, kita jadi serba salah kita pun tidak tahu kita duduk dalam landasan yang mana. Ramai orang bercakap, semalam pun ada yang bercakap sama ada daripada pihak Kerajaan dan jugak daripada pihak kami yang bercakap tentang hal perpaduan di kalangan kita. Tapi sebenarnya bercakap memang mudah perpaduan nok berpadu, nok molek, nok wak comel, nok wak baik mudoh jer cakap tapi nok buat bukan satu kerja yang mudah, sekarang ini peringkat kita ini merupakan peringkat pelaksana dan kita juga yang diberi anugerah oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk menjadi pemimpin buat masa sekarang ini. Saya yakin dan percaya kita semua ini bukan boleh jadi tongkat langit pun hidup tidak boleh nak kekal buat selama-lamanya maka kita kena memikirkan satu natijah yang terbaik demi kepentingan rakyat, agama, bangsa dan negara kita.

Oleh sebab itu, saya memohon kepada pihak Kerajaan, memohon kepada pihak Kerajaan supaya kita menyediakan satu platform dan modul bagaimana jambatan untuk kita laksanakan perpaduan ini sebab bukan saja rakyat di bawah yang keliru sekarang ini, rakyat semuanya keliru orang di bawah keliru apalagi kita duduk di atas pun sebagaimana yang saya beritahu kok kek kok kek nok boleh ke bercakap hari ini. Ini juga telah juga telah menjadi initipati dan juga banyak disentuh oleh Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada dua hari yang lepas iaitu kalau boleh kita baca dalam muka surat 4 yang mana Tuanku telah bertitah: “Beta melihat semangat perpaduan dan kekitaan di antara Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat beta tanpa mengira mana-mana parti telah terserlah selepas PRU Yang Ke-14 baru –baru ini.” Ini merupakan satu hadiah yang terbaik kepada rakyat Negeri Terengganu cuma sekarang ini sebagaimana yang saya bagitahu bagaimana kita nak laksanakan perkara ini sebab sebelum pada ini pun kalau kita bercakap, kita bersyarah orang politik ini cair tahi telinga belaka, sedap belaka bersyarah, kong... kong... kong.... bersyarah tapi sampai peringkat pelaksanaan kokang kokang kokang. Ini yang perlu kita perjelaskan walaupun saya yakin dan percaya bukan satu benda yang mudah kerana kita telah melalui proses ini telah lama sangat dan ianya telah menjadi berakar umbi sampai ke bila-bila dan sebab itu saya kata kita kena menyediakan satu platform kalau tidak untuk kita pada hari ini pun insya-Allah pada generasi yang akan datang ianya boleh diikuti dan boleh menjadi panduan kepada anak-anak cucu kita insya-Allah. Jadi Yang Berhormat Yang di-Pertua, kita ini sebagaimana yang saya maklum bahawa kita semua ini tidak akan kekal untuk selama-lamanya keadaan pada hari ini rakyat melihat bagaimana kepimpinan kita begitu juga Kerajaan Pusat dan juga Kerajaan Negeri kerana rakyat Negeri kita, rakyat kita pada hari ini merupakan rakyat yang sudah jauh ke hadapan. Mereka akan melihat dan mereka akan merasai bagaimana servis dan juga perkhidmatan kita kepada rakyat, apakah rakyat menerima pada hari ini kepimpinan kita lebih baik daripada kepimpinan yang sudah-sudah. Dan ini harapan kita dan kita sedar ke diri pada hari ini bahawa kita telah ditolak pada Pilihan Raya Yang Ke-14 baru-naru ini, bukan kita tidak sedar kita tahu tapi kita mengharapkan Kerajaan yang ada pada hari ini memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat khususnya kita sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Terengganu ini.

Oleh sebab itu, kalau kita bercakap tentang nak buat perpaduan kita jangan cakap tentang kita-kita saja, Wakil-Wakil Rakyat saja, Ahli-Ahli Dewan sahaja maka kita kena turun ke satu peringkat satu peringkat ke peringkat akar umbi ini perlu diterjemahkan dengan cara yang sungguh-sungguh Yang Berhormat Yang di-Pertua. Ini tepuk dada tanya selera kita tak boleh nak kata ke siapa-siapa dia.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, apabila kita melihat kekecelaruan dalam politik negara kita pada masa sekarang ini pada sayalah apa guna kita menjadi pemimpin jika agama kita dicerca sebegini rupa, apa guna kita menjadi pemimpin jika bangsa dan negara kita hampir-hampir tergadai, apa guna kita menjadi pemimpin jika raja-raja kita dihina sebegini rupa sebab itu saya kata ianya memerlukan kepada penterjemahan yang begitu konkrit daripada kita sebagai seorang pemimpin yang diberi anugerah oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada masa ini.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, berbalik kepada Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, yang banyak juga menyentuh, saya juga mengambil kesempatan dalam masa yang singkat ini untuk saya mengutarakan beberapa pandangan-pandangan dan juga rungutan-rungutan daripada peringkat akar umbi. Dan saya berharap ianya akan menjadi dan juga diberi keutamaan oleh pihak Kerajaan yang ada pada hari ini. Sejak daripada dulu lagi memang kita tahu dan kita sedar bahawa dalam Titah Ucapan Kebawah Duli Tuanku juga menyentuh dan rakan-rakan kita yang berucap pun ramai yang menyentuh iaitu berkait dengan kepentingan pelancongan di Negeri Terengganu ini. Memang kita sejak pada dulu lagi, kita dah sedar dah bahawa Negeri Terengganu ini tidak boleh bergantung semata-mata dengan minyak, dengan hasil petroleum selama-lamanya, dok boleh. Kita kena mencari satu alternatif-alternatif baru sebagaimana kita boleh mengorak ke arah perindustrian, kita kena mengorak ke arah usahawan, kita kena memperkasakan lagi industri-industri sukan kita, kita kena memperkasakan lagi industri-industri pelancongan di negeri kita.

Berbalik kepada industri pelancongan, kalau saya nak ulas satu-satu, dok dang. Pelancongan, saya ni ada banyak benda yang berkait pelancongan berkait dengan kawasan saya, iaitu khususnya Tasik Kenyir. Saya sedar dan juga tuan-tuan juga tahu, sejak daripada dulu lagi ramai rakan-rakan kita kata ini merupakan satu pelaburan yang membazir, satu pelaburan Kerajaan yang membazir membuat pembangunan dan juga perancangan di Tasik Kenyir. Saya nak beritahu kepada tuan-tuan dan puan-puan, sidang hadirin yang berada di dalam Dewan pada hari ini. Dulu Kenyir ni orang panggil Terengganu Mati. Terengganu Mati ni tempat hok, hok jauh sekali. Terengganu Mati, dulu. Tapi kita buat perubahan dimensi baru, dengan transformasi baru sebagaimana kehendak Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan sebut kena buat trasnformasi baru, tapi kita telah buat transformasi baru daripada Terengganu Mati kita buat nak jadi Terengganu Hidup pula lening. Dan hari ini telah terbukti ramai orang datang ke Kenyir setiap tahun, sentiasa meningkat daripada tahun 2010, 2011 sampai 2018 ni. Dan kita tengok kehadiran pelancong ini begitu ramai disebabkan kerana kita meletak pelaburan yang cukup tinggi kepada Tasik Kenyir, dan pulangan kepada kita. Kita tak boleh bercakap di dalam Dewan ini bahawa pelaburan Kerajaan dengan rakyat, kita berpaksikan kepada money for we… tak boleh, sebab Kerajaan dan rakyat ni tidak bukan gitu, kalau kita nak gitu, kita kena business, kita kena niaga. Ini Entity Government To Service dengan izin, Dato’ Yang di-Pertua, minta maaf. Kita dengan rakyat ini adalah untuk kita service rakyat dan pulangan kita selepas pada itu. Pulangan dia mungkin kepada rakyat, dan secara tidak langsungnya mungkin sistem percukaian kita, kita boleh perbetulkan. Kita perbetulkan sistem percukaian, sebab tu kita dulu kita cadang buat GST. Orang takmboh pulak. Sebab supaya orang tidak boleh lari. GST 6%, orang kata dok, SST bagus, 6% campur dengan 10% campur 6%. Jadi 3% mo’oh . Saya dok paham, sebab 6% orang kata tinggi, hok ni 10 campur 6 jadi 16, orang kata tinggi hok mula, jadi saya tidak faham di sini.

Jadi tuan-tuan, saya berharap Kerajaan baru di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar sekarang ini, sebagaimana yang disebut oleh Titah Tuanku sendiri pun saya juga tertarik dan saya ucap tahniah dan syabas, yang mana Tuanku bertitah: “ Beta berasa sukacita dengan kepimpinan memanda Beta, Yang Amat Berhormat Dr. Ahmad Samsuri kerana telah berjaya mengamalkan konsep kepimpinan matang dan sejahtera, tanpa mengirakan budaya politik dan kefahaman politik masing-masing.” Ini bagus, takdok masalah. Dan kita pun faham. Kalau Yang Berhormat kata, semalam Yang Berhormat Hulu Besut kata semalam, kalau time nak bahas Bajet, suruh angkat tangan, kita angkat tangan belaka. Dah memang dok hal Bajet pun, hal lain pun kita angkat tangan belaka. Tapi, kita dok dapat menda-menda pun dakpe Yang Berhormat, kita tahu, dok susah bab tu. Kalau Yang Berhormat Paka, takdok dah, pah kuana hala dah. Zaman dia mapuh dia dok angkat tangan. Saya ada dalam Dewan ni juga, saya tahu, jadi Yang Berhormat tuan-tuan, dengan perubahan yang dibawa oleh kepimpinan Terengganu Sejahtera hari ni, kita mendoakan .....

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Laluan sekali.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Pulok…hor mari.

Yang di-Pertua

Sila.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Terima kasih Telemong.

Dah kalau angkat tangan belaka, ajak berlawan lepas ni angkat tangan dok?

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Berlawan lepas ni mangkah, bukan angkat tangan. Hor kita kerah orang mangkah lah. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kat mana tadi dok tahu, aku hok nilah .....(Dewan gelak) .....

Yang di-Pertua

Tak apa rileks, rileks Yang Berhormat.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Camba laa ni nak cari cari ni, duk ganggu-ganggu ni yang susah ni.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Urang hulu dokleh gitu.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Yang Berhormat Yang di-Pertua, jadi saya mengharaplah, macam pembangunan di Tasik Kenyir, Kerajaan perlu teruskan, saya faham, dan juga kita tahu dengan situasi ekonomi kita pada hari ini. Dan Yang Berhormat tidak boleh menyatakan, Kerajaan tidak boleh menyatakan bahawa ini kesilapan Kerajaan dahulu. Tidak. Sebab Kerajaan pada masa tersebut, ada barang sikit, pitih ada masa tu, kita buat perancangan besar sikit. Takkan kita nak buat perancangan kecil-kecil. Sebab kita Terengganu ni sudah jauh ketinggalan daripada orang. Kita nak suruh orang melabur, orang takmboh mari melabur, orang dok mari melabur, rakyat kita tak dapat peluang. Bila kita melabur, maka memang kita kena keluar sikit. Lepas pada ni harapan kita dengan infrastruktur yang kita buat, ada pelabur-pelabur luar dan swasta yang boleh masuk dan boleh menguruskan perkara-perkara tersebut. Dengan cerita dalam masa yang pendek, apa untung Kerajaan buat benda ni? Tak ada untung Kerajaan, nama pun Kerajaan. Kalau Kerajaan jadi jer Kerajaan, buat tabung suruh rakyat bayar hutang, tak betul. Bila jadi Kerajaan, buat tabung minta rakyat mari buh dalam tabung belaka, kita nak bayar hutang ni, hutang Kerajaan dulu banyak. Tu tak betul, doksoh jadi Kerajaanlah mu. Ramai lagi orang boleh jadi Kerajaan. Saya nak beritahu .....

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Paka masuk dah, Paka masuk dah tu.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Dakperlah .... (Dewan gelak) ….

Aii... marah sapa tu? ...(Sambil gelak) ....

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Dok marah, bukan marah, kabor …. (Sambil gelak) …. Yang Berhormat Paka ni, memang dia, dia dok berapa nak lagi tu. Dakpe lah, dakpe.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebab tu saya kata saya berharaplah, dengan, sebab saya melihat, saya melihat di Tasik Kenyir itu sangat ramai orang yang hadir. Dan saya takut bila kita semakin suram, orang semakin menurun hadir. Bila orang kurang hadir, peluang pekerjaan, berapa ribu yang boleh diwujudkan untuk anak-anak tempatan di sini. Houseboat sahaja, daripada dua tiga butir dulu, hari ni ada sampai hampir 100…

Yang Berhormat, benda apa sakni dok dengar. Benda apa? Dokdang tangkap.

Yang di-Pertua

Houseboat, houseboat….(Dewan gelak)….

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Hok mana ni nak suruh ulang ni?

Yang di-Pertua

Dia nak minta sebut houseboat.

Houseboat? Oh, okey okey…. (sambal gelak kecil) ….

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Sampai 100 buah hari ni. Berapa ramainya budak boleh kerja. Begitu juga dengan pemandu pelancong, tukang masak dan sebagainya kerana hasil yang kita buat. Orang nak gi tengok apa benda? Orang nak gi tengok ikan kelah, Santuari Kelah. Orang nak gi tengok Taman Rama-rama. Mapuh pun tak apa nak buat guaner, mapuh bukan kerja kita, dok? Kita nak buat.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Nasib baik ngaku mapuh.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Habis dah waktu Dato’ Yang di-Pertua ni. Sabar dulu, tengah sedap lagi ni.

Yang di-Pertua

Tapi tak boleh lama sangat Yang Berhormat, kesian kat kawan-kawan.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Sekarang ni, Taman Rama-Rama, kita dah cuba nak buat yang terbaik, kita ni memang gitulah Kerajaan. Pihak Kerajaan pun sama juga, lening dia baru peringkat reka nak buat, dia kaborlah benda tu bagus, benda ni bagus, pelaksanaan belum tentu. Jangan tebeng main jadi Kerajaan ni, aku duduk doh belah alik nung, pening kepala. Kalah bola pun sakit kepala nak jawab. Haa. Bolehlah ..... Mung jadi Kerajaan buat lepas pada ni. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua .....

Yang di-Pertua

Point terakhir, point terakhir.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Point terakhir. Dalam banyak-banyak tu adalah benda-benda yang saya ada bisik dah dengan Yang Berhormat Infastruktur orang kawasan saya jugak Kuala Berang, tapi dalam kawasan payah jumpa dia ni, jumpa-jumpa Dewan ginilah dia. Dang bisik ke dia, tolonglah saya kata Kampung Basun kampung yang paling hampir dengan Tasik Kenyir orang mari ramai, jadi orang nak sembahyang, masjid saya buat, saya cuba besar dah dulu tapi tidak padan, orang mari ramai sehinggakan sembahyang di bawah kalau time panas gini takpelah, sembahyang bawahpun, time hujan gok siang ke orang. Tu lah saya harap, saya minta tolong sungguh. Bab tanah kita dah selesai, saya tak dang dulu bukan takmboh buat, dok dang, lulus dah brok kalah lalu, mapuh kerah. Nak kata guaner. Tengoklah dalam dalam peruntukan ada ke dok, pah sudoh dok buat. Saya haraplah, saya jumpa dengan siapa-siapa dia pun saya mintak tolong supaya memudahkan orang nak pergi dan juga orang yang berada di sana untuk menunaikan ibadat. Soal dia nak beribadat nak sembahyang tu cerita dialah tapi kita sebagai Kerajaan kena sediakan platform tersebut, supaya mudah kepada mereka yang ke sana.

Dan juga saya ucap tahniah kepada Yang Berhormat EXCO Belia Dan Sukan Terengganu yang cuba membawa membuat perubahan sebagaimana yang disebut semalam oleh Yang Berhormat Tepoh nak buat, tukar apa ni, rumput di stadium. Sebenarnya memanglah, Yang Berhormat Tepoh semalam dia pun menyentuh berkaitan dengan pembaziran yang berlaku di Stadium Sultan Mizan, sebenarnya kita buat Kompleks Sukan Terengganu adalah di antara kompleks Sukan yang terbaik di Malaysia kita cadang dulu, yang terbaik dan kalau kita tengok pada hari ini pun tak ada negeri pun yang tiada kompleks sukan, takkan kita takmboh buat, dan kalau kita nak buat hari ini RM500 juta tidak cukup lagi. Kita buat masa itu, RM200 juta padanlah tu.

Yang di-Pertua

Okey Yang Berhormat.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Soal banyak-banyak nak runtuh nak buat guaner , runtuh se, sepuluh lagi tidak runtuh. Guaner Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Okey Yang Berhormat, yang terakhir. Sila-sila.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Hak itu, bukan runtuh stadium, runtuh bumbung siapa dia nak. Kita dulu masa merancang pun semua orang beri taklimat pada kita bagus. Oh, pakai besi kuat ini Yang Berhormat, besi hok kukuh sekali kita import daripada nung, betul ke tidak mung, natang mung tipu aku, dok. Bukan kita nak suruh runtuh, kontraktor pun sama, doksoh dera dia, kontraktor pun tidak mahu berlaku sebagaimana tersebut kerana kalau berlaku gitu confirm dia kena gam tak leh projek berseharang, koho mampus dia. Tapi bukan kehendak kita, soal dia runtuh, kita perbetulkan balik dan kita perbetul kita faham dalam keadaan ekonomi pada hari ini, kita betul sikit-sikit, macam tukar rumput, tapi kena tengok sistem sebab sistem pengairan, system waterproofing dan sebagainya Yang di-Pertua, kalau tidak tengok, tukar pun pelole jugak, benda yang sama akan berlaku. Ini benda yang kita kena tengok dari segi teknikal betul-betul supaya ianya boleh memberi manfaat kepada Sukan Nombor Satu Negeri Terengganu ini. Bola ini, Sukan Nombor Satu di Terengganu ini, kalah bola, hancur kita jawapan dia, bengkak muka EXCO nak beri jawapan. Tapi menang bola, yes bagus selalu. Itu budaya kita, nak wak guaner .

Jadi tuan-tuan, yang akhirlah saya, banyak lagi Yang di-Pertua nak bercakap ini, tapi takdok arohlah.

Yang di-Pertua

Nak panjang, sidang akan datang pula.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Sidang akan datang pula, terima kasih banyak. Saya Telemong, sama juga menjunjung kasih dan merafak sembah Kebawah Duli Tuanku dan menyokong Titah Ucapan Tuanku, terima kasih. Wallahu a'lam. Wabillahi taufiq wal hidayah. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Wakil Telemong yang penuh semangat hari ini. Sila.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil alamin. Wabihi nastain. Amma ba’d.

Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para Pemerhati dan sidang hadirin yang dihormati sekalian.

Pertama sekali saya ucap terima kasih kerana diberi peluang untuk sama-sama membahas Titah Ucapan kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, saya juga menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Mulia Tuanku Sultan. Walaupun kita bercakap tentang penyatuan ummah, perpaduan tetapi jangan pula kita mengambil kesempatan oleh pihak Kerajaan mungkin berasa lenang kata orang. Kita di pihak Pembangkang ini tetap menjadi penyumbang yang betul tetap kita kata betul, yang salah tetap kita kata salah. Jadi oleh sebab itu, kita berharap pihak Kerajaan dapat memberi yang terbaik demi untuk rakyatlah, apa yang kita perbincangkan di sini adalah semuanya tertumpu matlamat kita untuk kesejahteraan rakyat.

Di dalam Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, lebih 20 perkara dipesan ataupun diingatkan kepada kita dan beberapa perkara saya nak sebut di sini iaitu yang pertama tentang pendidikan. Terlebih dahulu saya ucap tahniahlah kepada semua pihak di atas kejayaan kita mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan SPM dan STPM dan juga kepada pelajar-pelajar yang berjaya.

Walau bagaimanapun, kita tidak dengar sebab selama ini ada insentif tertentu yang kita beri kepada sekolah-sekolah yang berjaya atau pun dan juga kepada pelajar-pelajar berjaya tetapi kita tidak dengar sekarang ini tiada liputan sama ada beri ataupun tidak saya tak tahulah, dan kita berharaplah sedikit sebanyak Kerajaan Negeri dapat memberi insentif kepada sekolah-sekolah dan juga pelajar-pelajar yang cemerlang ini.

Lebih-lebih lagi kita difahamkan sekolah-sekolah hari ini peruntukan dipotong, dikurangkan dan kita mengharapkan Kerajaan Negeri memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah ini kerana ada setengah-tengah sekolah sampai tidak dapat mengadakan Hari Sukan Sekolah hari ini, dan hantar pelajar-pelajar yang menyertai Sukan Peringkat Daerah dan Negeri hanya yang dia rasa boleh pingat sahaja. Betapa teruknya peruntukan kepada sekolah-sekolah. Dan kita juga ucap terima kasihlah dalam Bajet 2019 ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM3.7 juta bagi pendidikan, tetapi adakah peruntukan ini sampai ke sekolah-sekolah ini kerana sekolah-sekolah ini masih lagi merungut kerana tiada bajetlah nak buat sesuatu program, aktiviti dan sebagainya tidak ada bajet.

Jadi saya berharap Kerajaan Negeri mengambil perananlah dalam soal ini supaya membantu, kerana inilah tempat kita untuk melahirkan modal insan kita supaya modal insan kita ini menjadi yang lebih terbaik yang cemerlang dan sekiranya peruntukan-peruntukan seperti ini tidak disalurkan sudah tentu, kecemerlangan yang kita nak yang kita idam-idamkan ini tidak akan tercapai.

Dan yang keduanya tentang bantuan petani dan nelayan. Kita tahu Kerajaan Persekutuan telah mengurangkan bantuan-bantuan ini kepada petani, golongan inilah petani dan nelayan ini dan setengah-setengahnya dipotong terus. Jadi apakah sebab ini pun, ada soalan saya semalam tetapi tidak sempat jadi saya berharap EXCO dapat gulungkan. Jadi, semalam telah jawab, ada disalurkan peruntukan tapi dalam bentuk macam mana? Kerajaan Negeri beri dalam bentuk apa? Biasanya petani dapat baja, nelayan juga dari segi sara hidup dipotong RM200 dan juga berapa ramai. Maksud saya mungkin dilakukan pemutihan dan sebahagian besarnya tidak dapat setelah dilakukan pemutihan sara hidup ini tidak dapat, dan dipotong RM100 hari ini daripada RM300 kepada RM200. Dan bagaimana Kerajaan untuk mengimbangi kos sara hidup mereka dengan kehilangan RM100 ini, apakah Kerajaan Negeri bantu kepada golongan ini. Dan yang ketiganya tentang Manisfesto PAS, ada disebut juga dalam Titah Ucapan tentang Kad Sejahtera. Ini tertumpu kepada golongan B40. Golongan orang susahlah. Jadi, kita juga tidak dengar Kad Mesra ini dilancarkan dan sebagainya. Mungkin saya tidak dengar, mungkin dah dibuat atau sebagainya. Tetapi, ini perlu dilaksanakan lebih segeralah maksud saya kerana golongan ini perlu diberi tumpuan. Jadi, maksud saya adakah Kad Sejahtera ini telah dilaksanakan ataupun tidak dan kalau tidak dilaksanakan lagi kita berharap disegerakan perlaksanaannya.

Dan yang seterusnya tentang 20,000 peluang pekerjaan dan sekarang ini dalam keadaan ekonomi yang cukup suram, saya pun tidak tahulah sebab kita juga tidak kedengaran bahawa peluang-peluang pekerjaan ini diberikan kepada rakyat dan sejauh mana manifesto yang mengatakan 20,000 peluang pekerjaan ini telah dilaksanakan. Sebab kita juga difahamkanlah EXCO ada buat lawatan ke luar negara dan sebagainya dan kita harap dapat pelaburan-pelaburan baru dan kita juga nak tahulah impak daripada lawatan-lawatan ini yang memberi manfaat kepada rakyat.

Dan akhir sekali saya nak menyebut tentang masalah di kawasan saya iaitu yang pertama, bekalan air sejak bulan 10 lagi, bekalan air ke Pulau Redang dicatukan dan difahamkan ada masalah kebocoran tetapi dah sekarang ini hampir lima bulan dan enam bulan dah orang Pulau Redang ini tidak dapat air dengan sebaik mungkinlah. Jadi saya berharap .....

Yang di-Pertua

Bocor atas darat ke bocor di dalam air Yang Berhormat?

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Ya?

Yang di-Pertua

Bocor tu, paip atas darat ke paip dalam air, submarine?

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Paip dalam air biasanya ni. Payah sikit ni. Tapi, kalau dulu taklah sampai setara ni. Sampai empat bulan, lima bulan ni. Jadi, saya berharaplah Kerajaan Negeri mengambil perananlah sebab ini masalah berterusan lama dah sebenarnya tapi saya ingatlah tidak seteruk ini sehingga empat bulan, lima bulan Pulau Redang tidak sampai air, lebih-lebih lagi pulau ini pulau pelancongan. Dalam Titah Ucapan Tuanku pun ada menyebut tentang kehadiran pelancong dan sebagainya. Tetapi dengan masalah-masalah ini mungkin kehadiran pelancong juga akan berkurangan.

Dan yang kedua tentang Rumah Mampu Milik di Pulau Redang kita nak tahu juga status dia. Delay sokmo ni. Jadi, bila, berapa percent dah dan sebagainya. Termasuk juga kawan saya kata ni, Pulau Perhentian, status Rumah Mampu Milik Pulau Redang dan juga Pulau Perhentian. Dan yang seterusnya saya ulangi sekali lagi ini kali yang ketiga mengenai pembinaan Masjid Mengabang Lekor. Semua perkara pengambilan balik tanah telah berlaku lama dah dan macam hok lain juga di zaman saya tidak sempat lulus walaupun kita dah angkat ini dalam Bajet, tapi kita nak tahulah status sebab Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah jawab dalam Sidang yang lepas, projek ini akan diteruskan. Cuma kita tidak nampak apa ni berlaku komitmen untuk menjalankan projek ini.

Dan yang seterusnya tentang tanah lot di Bukit Wan sebanyak 24 lot yang tidak dapat diselesaikan walaupun telah ada penama-penamanya dan saya difahamkan tanah lot ini telah dibatalkan dan akan diberi kepada penama-penama baru. Jadi saya bimbang suasana yang tidak harmoni di dalam kampung. Jadi kalau betul kita nak tengoklah yang kita sebut perpaduan, penyatuan ummah dan sebagainya. Teruskanlah, kalau nak buka, bukalah tanah lain, ambillah tanah lain. Janganlah kacau tanah hok dah selesai dan sebagainya.

Dan yang terakhir satu lagi iaitu Rumah PPRT yang telah siap di zaman BN memerintah dululah dan telah ada juga penama. Juga telah ditangguhkan pemberiannya. Jadi saya bimbang rumah ini akan jadi rosak kalau orang dok masuk. Rumah siap dah, rosak dan sebagainya. Jadi, beri jelah kepada penama, dia orang pun dah tahu…..

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Yang Berhormat, minta laluan, minta penjelasan rumah di mana tu?

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Di Wakaf Cagak.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Apa tu?

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Wakaf Cagak.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Wakas?

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Wakaf Cagak.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Cagak? Ooo di Batu Rakit?

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Oh, Batu Rakit.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Okey. Terima kasih.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Cakap Batu Rakit boh. ...(Dewan gelak) ... bukan Bukit Tunggal ni. Batu Rakit boh. Kita masalah kita jer. Jadi itulah sedikit sebanyak dan Batu Rakit pohon menyokong. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Wassalum’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Batu Rakit. Sila Wakil Bukit Besi.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillahir Rabbil ‘Alamin. Wassalatu wassalamu'ala asrofil anbiya iwal mursalin, Sayyidina Muhammadin wa'ala alihi wasohbihi ajma'in.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, barisan Ahli-ahli EXCO, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan…..

Yang di-Pertua

Yang Berhomat, saya ganggu sekejap yer. Saya lepas pada Yang Berhormat Bukit Besi, saya nak bagi seorang lagi sebelum apa nama ni ADUN Kijal dan juga Batu Burok. Okey, sila sambung.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Para Pemerhati, tuan-tuan, puan-puan yang saya kasihi sekalian. Alhamdulillah ada kesempatan juga pada saya pada pagi ini untuk sama-sama mengambil bahagian dalam Menjunjung Kasih Keatas Titah Ucapan Tuanku yang disempurnakan di Majlis Perasmian dua hari yang lepas. Dan izinkan saya melahirkan ucapan Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas Titah Ucapan dan keprihatian yang saya rasa amat berat untuk kita sama-sama memainkan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat iaitu menyeru ke arah perpaduan dan keharmonian demi memenuhi agenda rakyat dan pembangunan yang tersusun dan berterusan bagi Negeri Terengganu kita.

Di atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan yang amat tinggi lagi mendalam ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga menyeru kita semua mengetepikan politik kepartian dan turut mengingatkan kepada kita iaitu anasir-anasir luar yang cuba menggugat keharmonian dan kestabilan kita di Terengganu khasnya dan juga Malaysia amnya. Sebelum ini kawan-kawan kita dah ramai yang menyentuh tentang keharmonian dan perpaduan. Jadi itulah sebenarnya yang sesungguhnya pada kita bagi Negeri Terengganu sama-sama mengambil perhatian yang begitu serius, bukan untuk kita tetapi untuk rakyat Negeri Terengganu keseluruhannya untuk menjayakan misi dan visi Kerajaan pimpinan baru ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi.

Dan saya di sini, saya ingin melafazkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin dan inayah-Nya jua saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi dengan rasa penuh tanggungjawab berdiri di sini untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih Di Atas Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Bagi Kali Yang Keempat Belas. Dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan dan peluang kepada saya untuk membahaskan usul tersebut.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya ada beberapa perkaralah ingin saya ajukan di sini. Saya amat menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah menitahkan agar Kerajaan berusaha menjadikan Terengganu destinasi pelaburan dengan memberi fokus menurunkan cost of doing business di Terengganu. Oleh itu, moleklah kalau pihak Kerajaan yang telah merangkakan satu pelan yang cukup baik. Wakil Rantau Abang sebenarnya hari tu tak sempat. Katanya tujuh strategi PITAS ni, hanya sempat dua. Jadi saya pada kesempatan ini ingin berkongsilah maklumat yang jelas supaya dapat kita sama-sama dapat kongsi maklumat itu. Sebelum ni, kita tahu PITAS, tapi kita tak tahu maklumat yang lebih tepat dan jelas untuk kita pastikan supaya rakyat di bawah sana juga dapat mengambil maklumat-maklumat ini. Dan kita nak tahu apakah aktiviti atau program-program yang akan ada dalam kerangka PITAS ni. Maaf saya nak cakap ni, sehingga kini dah setahun dah, setahun tak sampai lagi dok, sepuluh bulan.

Yang di-Pertua

Ya, belum.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Sepuluh bulan PITAS diumumkan. Tetapi tiada satu pun lagi, Town Hall mengenai PITAS dilakukan kepada kepimpinan masyarakat, mahupun kakitangan Kerajaan serta juga kita sendiri di kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat, rasanya setakat ini, saya sendiri pun tak pernah dijemput lagilah seingat saya ke taklimat ataupun apa-apa forum mengenai PITAS yang dikerangkakan ini. Maaflah bukan apa, kita meluahkan rasa ini kerana kita nak bekerjasama kawan-kawan kita semua tadi dah sebut jadi semangat untuk bekerjasama ni cukup tinggi di kalangan kita, jadi kita nak biarlah dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat, Negeri Terengganu kita ni dapat sama-sama memajukan sepertimana saranan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Perlu diakui, kerjasama perlu digerakkan untuk meningkatkan keupayaan pertumbuhan ekonomi negeri dijangka kekal lembap, ada kawan-kawan kata suram, tapi saya ambil ayat berhemah sikit ni, yang dijangka kekal lembap pada tahun 2018 ni. Ni baru nak masuk 2019, kita perhatikan banyak kini kedai-kedai ditutup operasi yang secara tidak langsung mewujudkan pengangguran. Oleh itu, saya amat mengharapkan Kerajaan dapat menggerakkan PITAS, yang mampu memfokuskan pertumbuhan ekonomi agar pertumbuhan tahun ini dan tahun-tahun yang akan kehadapan bergerak lebih memberansangkan lagi.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke arah keusahawanan juga menarik minat saya untuk turut merakamkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang akan memperuntukkan, betul dah ayat saya tu dok? Yang akan memperuntukkan dana RM15 juta iaitu Tabung Usahawan Sejahtera Terengganu (TUGAS). Saya difahamkan ini merupakan jumlah yang terbesar yang pernah diperuntukkan kepada YPU bagi membantu usahawan ini, sebab saya lama juga jaga usahawan ini tak pernah peruntukkan sebegini rupa besarnya. Hebat dan terbaik bossku, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, boss kita semualah dok. Dah Kita nak kerjasama dahkan. Namun, dalam masa yang sama cuma nak berkongsi pengalaman dan ingatan, usahawan bukan nak dengar peruntukkan sebenarnya. Kaborlah banyak mana peruntukkan pun, pada usahawan biasa saja. Tetapi mereka nak pitih, kita kabor peruntukan dia dengar jer, tapi dia nak pitih dengan cepat. Hok ni kepada EXCO Usahawanlah, Kota Putera. Saya tumpang suka dengan juta-juta tu, saya sendiri pun rasa, nak tu doklah sebab kita tak niaga, tetapi kepada usahawan. Tetapi saya juga terima keluhan daripada usahawan sebenarnya, yang dia kata dah hantar borang bulan Disember 2018, beberapa bulan lepaslah, dan bulan Januari 2019 tetapi hingga kini belum dapat lagi keputusan lulus atau gagal permohonan ini. Kalau telefon Pejabat YPU pun cakap dengan Bahagian Pembiayaan, pegawai situ jawab, banyak terima permohonan, jadi kena sabar dulu, betul dah, dan hok menariknya ada juga yang dapat jawapan peruntukan Kerajaan tak hantar sepenuhnya lagi ke YPU. Kalau boleh kita dimaklumkan berapa permohonan, tolong bagitahulah, kita nak tahu juga, berapa permohonan ke ada tanya tak silap tadi, tambahan tadi dok? Takpelah saya cuba itu balik sebab mungkin sama tu. Berapa permohonan yang sudah diterima sejak Disember sehingga kini dan berapa jumlah bilangan yang telah diluluskan. Jumlah Ringgit Malaysia. Faham sajalah, dalam keadaan hari ini, orang niaga nak pitih cepat, dia nak buat modal. Saya sebenarnya dalam hal ini saya, masa saya dulu saya senantiasa mengingatkan kepada pegawai-pegawai di YPU sebenarnya, kita kena ingat, usahawan-usahawan kita tu mari dari Kemaman, mari daripada Besut dengan masalah nak bawa masalah ke kita, dengan harapan yang begitu tinggi, mungkin dia mari sewa kereta, mungkin dia mari dengan motosikal, kalau hari hujan dia berbasah, kalau hari panas makna berpeluh, nak sampai ke Pejabat YPU. Tetapi apabila dia sampai ke Pejabat YPU dengan layanan yang tidak sempurna, akan menyebabkan usahawan-usahawan kita merasa kecewa. Jadi inilah kita nak supaya, pegawai-pegawai kita di Pejabat YPU tu, tolong tengok-tengok dan timbang-timbangkanlah kepada usahawan-usahawan kita apatah lagi dengan peruntukan yang akan disediakan oleh Kerajaan satu jumlah yang cukup besar. Saya mengharapkan Kerajaan atau pengurusan YPU menjelaskan keadaan sebenarnya kepada pemohon dan kalau boleh tempoh menunggu itu janganlah lama sangat, buatlah acap sedikit, orang Terengganu kata buatlah kerek sikit mesyuarat itu kalau dua tiga kali sebulan pun, buatlah demi untuk beri keselesaan dan kemudahan kepada usahawan-usahawan kita. Satu lagi harapan agar kalau boleh pemohon boleh buat semakan sendiri secara online, ini cadanganlah, bagaimana status permohonannya. Kita nak Kerajaan kita hebat. YPU sudah melatih ramai usahawan-usahawan digital, moleknya segala permohonan dan semakan pun boleh dilakukan secara digital sebab keusahawan ini masih dekat di hati saya sebenarnya dan amat faham sangatlah masalah kewangan orang niaga terutamanya yang hantar borang pinjaman. Secara umumnya saya mengambil pandangan positif usaha terbaik Kerajaan memberi fokus kepada keusahawanan itu namun kami merasakan beberapa pembaikian mekanisma boleh dilakukan untuk memenuhi harapan para usahawan dan menjadikan IKS penjana ekonomi negeri dalam situasi ekonomi kini.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, menarik perhatian saya juga bila Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut memberi pandangan terhadap Revolusi Industri 4.0 dan TD1303. Kalau dahulu TD1303 diketuai oleh seorang CEO, dan diletakkan di bawah UTENT. Namun difahamkan kini masih lagi belum ada lagi CEO, betul tak betul, dan difahamkan juga UTENT pun sudah dibubarkan, jadi apakah halatuju TD1303 dan apakah fokus usahawan nak start yang akan dibangunkan di TD1303? .... [Buzzer timer berbunyi] ..... Boleh saya teruskan Yang di-Pertua?

Yang di-Pertua

Habis dah masa Yang Berhormat.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Sikit lagi saya ambil masa.

Yang di-Pertua

Satu minit sebab kita ada ADUN Kijal, lepas itu ADUN Batu Burok, lepas tu tadi saya janji ada seorang lagi, kan? Ada tak? Tak ada dah kan? Tak ada dah ya? Boleh sikit lagi.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Kita juga hendak tengok secara moleklah matlamat atau objektif kewujudan TD1303 dikekalkan dengan mungkin ambil sikit kalau kata ada kelemahan di situ di sini untuk kita ubah suai strategi dan program agar agenda ke arah melahirkan digital citizen atau usahawan yang mampu memacu IR 4.0. di Terengganu dapat kita rancakkan. Dan pada kesempatan ini juga saya nak mendapatkan kesahihan atau kepastian apakah inisiatif-inisiatif terbaru untuk menarik usahawan-usahawan tempatan atau pelaburan tempatan untuk menggerakkan IR 4.0. di Terengganu.

Seminit, dang lagi dok? Sebelum saya mengakhiri Ucapan Junjung Kasih Atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia marilah kita sama-sama memahami seruan dan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk melihat Terengganu maju dan rakyatnya sejahtera. Justeru itu atas nama perpaduan, saya walaupuan duduk di meja sebelah sini bersiap sedia akan memberi kerjasama demi agenda nak tengok Terengganu maju macam yang viral lening, ‘Malu Apa Bossku’, hebat sangat sekarang ini, dia viral ‘Malu Apa Bossku’. Jadi begitu jugalah dengan harapan saya untuk melihat Negeri Terengganu kita ini akan dapat negeri yang terbaik dan rakyatnya sejahtera. Justeru itu kalau kita buat tegur dan memberi pandangan yang agak berbeza atau bercanggah sikit bukanlah bermakna kita ini nak membangkang atau memandang secara negatif. Kita sayang Terengganu, kita rakyat Negeri Terengganu memang kita sayang Terengganu.

Yang di-Pertua

Yang terakhir Yang Berhormat.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Ya. Okey, yang terakhirnya, saya tak boleh habis jugalah, tak apalah untuk akan datang pula. Jadi sekali lagi saya nak ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Yang di-Pertua yang telah memberi ruang dan peluang kepada saya, sama-sama mengambil bahagian dalam Titah Ucapan Tuanku.

Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Bukit Besi turut menyokong. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Bukit Besi, akhirnya saya menjemput Wakil Kijal, selaku ketua .... Tak apalah ya deh sebut Ketua Pembangkang yang baru, beri semangat sikit, untuk mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Sila.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua Jabatan, dan para Pemerhati sekalian.

Alhamdullilah saya bersyukur ke hadrat Allah Ta’ala kerana saya diberi peluang oleh Yang di-Pertua untuk turut sama membahaskan Ucapan Junjung Kasih Atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku semasa Perasmian Sidang Dewan yang lalu. Saya nak pendekkan hanya ada beberapa perkara. Pertama, saya ingin menyentuh Ucapan Tuanku mengenai kewujudan Terengganu Silica Valley iaitu di Jambu Bongkok yang mana kita sedar bahawa ini merupakan aset utama Terengganu kerana mengikut kajian, silika yang terdapat Terengganu boleh bertahan jika diusahakan secara mampan selama 75 tahun. Justeru itu, apa yang saya harapkan Kerajaan Negeri harus berhati-hati menarik para pelabur kerana kita ada dua aset utama yang dulu saya telah laksanakan di samping silika dan juga bauksit kalau boleh kita mencari pelabur-pelabur yang datang membuka kilang di sini. Ini adalah kerana apa yang berlaku hari ini, tahulah kebanyakan pelabur ini kung kali kung, ikut syarat kita dia mesti mengeluar produk sekurang-kurangnya separuh siap tapi kita tidak mahu bahawa apabila mereka diberikan kelulusan mereka mengeksport silika ini secara bahan mentah, raw sahaja ke luar negara. Ini sudah tentu merugikan kita dan saya harap kita telah ada kelulusan diberikan dulu. Saya berharap Kerajaan Negeri berhati-hati membuat pemantauan tentang apa yang berlaku kerana saya dimaklumkan telah mulai silika kita ini dieksport ke luar negara secara bahan mentah bukan sekurang-kurangnya separuh siap.

Begitu juga dengan bauksit kita yang juga merupakan aset yang ada pada Terengganu di samping minyak, justeru itu kita juga kalau boleh saya harap Jawatankuasa Pelaburan Negeri dapat menarik pelabur-pelabur datang dan pastikan mereka ini boleh membuka kilang mereka di sini. Kita beri keutamaan kepada pelabur-pelabur dan kalau kita beri kepada mereka yang hanya nak ambil, punggah dan pergi, ini sudah tentu merugikan kita. Ingin jugalah saya memberi peringatan kepada Kerajaan Negeri supaya berhati-hati.

Yang kedua, secara ringkasnya Kerajaan Negeri merancang untuk membina 20,000 unit Rumah Mampu Milik kepada rakyat Terengganu walaupun saya percaya angka ini adalah begitu besar, mungkin ini di luar kemampuan kita. Walau apa pun, saya melihat dari segi positif saya harap EXCO berkenaan dapat merealisasikannya kerana bagi saya, masa saya dulu kita hanya buat janji 10,000, kita hanya dapat buat 9,000 lebih itupun dalam keadaan duit kita agak lebih sedikit ketika itu berbanding sekarang ini kerana kita sedar bahawa kalau ikut Bajet sebagaimana dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar hasil daripada petrol sahaja kira-kira RM1.4 bilion dengan harga antara USD 60 – 70 tapi bila ditolak 25% kita hanya tinggal lebih kurang RM1 bilion 50 juta sahaja dan kita campur lagi dengan hasil Terengganu, hasil-hasil lebih kurang RM350 juta menjadikan pendapatan kita lebih kurang RM1.4 bilion. Sedangkan dalam Bajet kita tulis RM2.015 bilion, kekurangan lebih kurang RM600 juta. Inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Kerajaan Negeri dan juga rakyat Terengganu kerana kita sedar, kalaulah diikutkan keadaan biasa memang tidak mencukupi kerana saya rasa tidak ada Kerajaan Negeri lain, yang mana Kerajaan Pusat berhutang dengan Kerajaan Negeri kecuali Terengganu. Kalau kita hutang RM700 juta lebih, ditolak dengan RM1.7 bilion lagi yang ada untuk pembinaan lebuh raya, kita ada lebih kurang RM100 bilion lagi dicampur dengan lebih kurang RM400 atau RM600 juta lagi duit yang patut dipulangkan RM230 juta setahun makna kita akan ada lebih kurang RM1.6 bilion. Sebab tu saya katakan tadi bahawa Kerajaan Pusat candat hok kita. Dia potong 25% tapi bila dia berhutang dengan kita, dia mintak tangguh dulu. Boleh tangguh sementara tapi saya harap tapi Menteri Besar tulis surat dengan kadar faedah yang tertentu, 8% bolehlah kata. Ni nok kecek kita sokmo. Sebab itulah saya harap bahawa, sebagaimana yang disebut tadi, saya ada sebut bahawa Kerajaan Negeri telah berkolaborasi dengan Tok Arau Sdn. Bhd. Tapi Yang Berhormat EXCO jawab tidak ada, tu Kerajaan dulu. Tapi bila saya check, sebenarnya Kerajaan sekarang kerana saya dapat maklumat ini lebih kurang tiga minggu yang lalu. Saya harap Yang Berhormat dapat betulkan dengan Tok Arau Sdn. Bhd. kerana katanya Kerajaan Negeri nak bayar 50% harga rumah yang dibina nanti. Bagi saya ini suatu yang membebankan, saya rasa Kerajaan mungkin tak mampu dan sebagainya.

Yang ketiga, ringkas-ringkas Yang di-Pertua, iaitu saya mengharapkan Kerajaan Negeri mengambil perhatian yang serius mengenai Pembangunan Tasik Kenyir dari segi sektor pelancongan kerana Terengganu tidak boleh tidak lari dari jadikan pelancongan sebagai agenda utama dan saya harap kita boleh fokus. Kalau kita nak buat belaka, ecer belaka kata orang, sini nak buat, sini nak buat, akhirnya tak jadi. Ada peruntukan RM100 juta, bagi sini RM2 juta, bagi sini RM3 juta, akhirnya tak dapat apa-apa. Lebih baik kita fokus kepada Kenyir sahaja kerana saya percaya Kenyir mempunyai potensi yang besar sebagaimana yang dibentangkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku iaitu ada 3 parameter yang sepatutnya dikuti oleh Kerajaan Negeri:-

1. Meningkatkan jumlah kedatangan pelancong.

2. Meningkatkan tempoh tinggal pelancong.

3. Meningkatkan perbelanjaan pelancong di Negeri Terengganu.

Ketiga-tiga ini boleh dilaksanakan, boleh kita realisasikan kalau kita bangunkan Tasik Kenyir. Kerana dulu kita merancang untuk membina kira-kira permulaan 30 unit kedai atau Premium Outlet Kenyir. Kalau ini dapat dilaksanakan, maknanya pelancong akan boleh syarat dia tinggal sekurang-kurangnya dua malam di Tasik Kenyir. Kedua, mereka boleh shopping di Tasik Kenyir. Dan ketiga, kita boleh jual dengan harga yang murah kompetetif, berbanding dengan tempat-tempat lain, kerana saya telah buat survey hampir sebahagian besar dunia ini tempat-tempat sama ada Factory Outlet atau Premium Outlet yang boleh kita laksanakan. Pelan telah siap, tinggal lagi dilaksanakan Yang Berhormat Yang di-Pertua. Dan kita lihat sendiri, walaupun satu ketika dulu saya diperkecilkan dalam keadaan kata orang kita nak bersama ni dok kasor sangatlah, hok dulu bahang parok dah ning. Orang kata saya bila kita bangun Tasik Kenyir, orang kata, siapa nak gi kat jin tendang. Saya takmboh sebutlah siapa yang kata tu tapi dia faham-faham sendirilah. Tapi hari ini, diakui sendiri oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Ucapan Bajet dia pada untuk 2019, kedatangan pelancong 2017 ke Kenyir seramai 817 ribu. 2018 angka belum keluar, dan saya jangka insya Allah sekurang-kurangnya 2019 ini angka akan mencapai 1 juta lebih. Ini adalah kerana kita lihat sendiri hari ini, hampir 100 houseboat yang ada di Kenyir tak cukup lagi. Itu kita belum siap lagi Kawasan Bebas Cukai, Premium Outlet yang kita nak bangunkan, kemudahan hotel dan lain-lain lagi. Sebab itu saya kata kita fokus pada membangunkan Tasik Kenyir, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Dan kita lihat sendiri bahawa Kenyir ini sebenarnya mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang tertentu. Kalau kita ingin lihat berbanding tempat-tempat lain, kalau di Pulau Perhentian hingga ke 200 ribu setahun datang melawat, Pulau Redang lebih kurang 250 ribu, Pulau Kapas lebih kurang 80 ribu tapi Kenyir telah mencapai angka kalau kita buat insya-Allah mencecah 1 juta dan akan datang lagi malah kita boleh jangkakan sekurang-kurangnya 100 ribu sebulan akan melawat Kenyir sekiranya semua kemudahan–kemudahan ini dapat disediakan. Justeru itu saya pohon Kerajaan Negeri fokuskan sektor pelancongan terutamanya di Kenyir. Banyak perkara yang boleh kita lakukan dan dulu saya dah beritahu kepada Kerajaan Negeri supaya memindahkan terowong air, gelongsor air yang berada di Zoo Kemaman itu ke Tasik Kenyir untuk tambahkan kemudahan yang ada kerana ianya sekarang tidak berubah, ia perlu dilaksanakan.

Tuan Yang di-Pertua, di samping itu saya juga ingin menyentuh mengenai kemajuan fizikal Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus dan Bandar Baru Kijal. Disebut oleh Tuanku dari segi infrastrukturnya telah pun mencapai lebih daripada target dari segi kesiapannya. Saya ucapkan terima kasih cuma saya nak tambah sikit, saya mintak, merayu Kerajaan Negeri kerana dalam Manifesto PAS juga ada menyebut mengenai Bandar Lestari. Sebab saya menjadi EXCO Kerajaan Negeri lebih kurang 15 tahun dalam Kerajaan Tempatan, dan 5 tahun sebagai Yang di-Pertua Majlis Daerah Kemaman. Jadi antara yang kita wujudkan di bandar-bandar baru ini adalah mewujudkan jalan tiga lorong kerana dua lorong kata orang dah ketinggalan zaman obsolete. Sebab tu bandar-bandar kita hari ni semuanya jammed nak besarkan lagi tak boleh, nak design tak mencukupi dan sebagainya. Sebab tu kita bangunkan Bandar Kuala Nerus dengan tiga lorong sebelah, jadi enam lorong termasuk juga Bandar Baru Kijal. Jadi Kerajaan Negeri terdahulu telah meluluskan peruntukan hingga RM230 juta untuk kemudahan infrastruktur termasuk jalan tiga lorong sebelah tetapi saya difahamkan akhirnya Kerajaan Negeri yang baru telah mengurangkan kepada dua lorong sahaja. Jadi sudah tentu keadaan ini akan menyulitkan pada masa depan kerana satu, melibatkan kos. Kalau dibuat masa depan, kosnya lebih tinggi. Jadi saya haraplah supaya Kerajaan Negeri fikir kembali supaya tiga lorong ni diteruskan. Mahu tak mahu kita buat juga akan datang tu tapi kosnya akan berlipat kali ganda. Kalau buat, buat sekaligus saya kata, begitu juga dengan longkang dan sebagainya. Dan saya haraplah bahawa perkara-perkara ini dapat dilaksanakan dan saya percaya bahawa kita ingin melihat Terengganu terus maju dengan peruntukan yang kita ada dan saya sedar Kerajaan Negeri akan mengambil masa yang besar menunaikan tanggungjawabnya melaksanakan program-program yang saya sebutkan tadi kerana Bajet RM2.05 bilion ini adalah satu angka yang tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya Kerajaan Pusat tidak memberikan peruntukan sewajarnya sebagaimana yang diputuskan. Saya sedar bahawa inilah yang berlaku sekarang ini, mungkin Perdana Menteri bersetuju tapi Menteri Kewangan kata tak ada duit dan akhirnya PM terpaksa akur pada kehendak Menteri Kewangan. Sebab tu saya menawarkan diri untuk sama-sama kalau sekiranya ada kesempatan untuk jumpa PM ke, Lim Guang Eng sebab saya kenal dia, saya pernah bersama-sama beberapa tahun dulu, dalam mesyuarat dan sebagainya. Dan saya tak kisah saya kata. Saya jenis buat peluru tak apa. Saya bila saya marah tak kira siapa. Tak ada hal bagi saya. Apatah lagi dia parti lain kita parti lain tak boleh pecat. Hok parti sama nak pecat pun tak pecat stabuk. Sepatutnya pecat lama dah ni Mat Said ni tapi nok kata guane dokleh pecat. Payah sikit. Sebab tu arwah mok saya kata, saya masa beranak dulu, tali pusat panjang do’oh lalu. ...(Dewan gelak) .... Dia berlilit pah tekok. Jadi maknanya, sebab kata tu lah nak dapat payah, nak jadi Menteri Besar pun payah gok dulu. Nak berhenti pun bolok juga. Nak maapuh pun payah jugak. Dok mapuh jugak. Jadi nak kata guaner. Jadi umur panjang dalam politik. Jadi sebab tu saya kata, saya nak tengok bahawa Kerajaan Pusat tidak boleh memperkotak-katikkan Kerajaan Negeri dan rakyat Terengganu. Kita mesti ada stand, satu pendirian demi kepentingan rakyat, kita berjuang bersama. Tak kisah. .....(Tepukan sokongan)..... Saya sanggup menjadi galang ganti. Sebab itu kita haraplah biar mesej ni sampai kepada Kerajaan Pusat, Kerajaan Pusat jangan tipu rakyat. Janji lain nak buat lain. Saya kata saya rapat dengan Tun Mahathir, sepatutnya saya orang pertama masuk parti dia. Tapi saya tak bersetuju dengan beberapa langkah yang dibuat. Saya sebab itu saya kata, jangan cuba bermain politik terlalu banyak sangat. Kita nak lihat Kerajaan membela rakyat bukan Kerajaan menipu rakyat. Ini yang perlu dilakukan. Cakap mudah, nak buat payah.

Sebab itulah saya sekali lagi Tuan Yang di-Pertua, ingin memohon supaya apa yang saya sebutkan ini diberi perhatian serius oleh pihak Kerajaan kerana kita sama-sama bertanggungjawab untuk memberikan kemudahan keselesaan kepada rakyat sebagaimana yang kita janjikan kerana kita sebagai pemegang amanah yang akan dipersoalkan suatu ketika nanti.

Justeru itu sekali lagi saya mengambil kesempatan ini Menjunjung Kasih Atas Titah Perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyampaikan Titah Ucapan yang mulia ini dan saya turut sama menyokong dan juga mengucapkan terima kasih di atas Titah Ucapan Baginda di Dewan Negeri tiga hari yang lalu. Mudah-mudahan Allah merahmati kita. Sekian. Wassalamualai’kum warahmatuallahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang Di-pertua.

Yang di-Pertua

Wa’alaikumus salam warahmatullah. Terima kasih banyak pada Wakil Kijal yang telah banyak sebenarnya tadi memberikan ucapan perbahasan termasuk memberikan nasihat kepada pihak Kerajaan yang ada. Seterusnya saya jemput pembahas yang terakhir iaitu Wakil Batu Burok. Selepas pada ini sebenarnya kita rehat, petang nanti akan dibuat penggulungan oleh pihak Kerajaan. Saya persilakan Wakil Batu Burok.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, wassalatu wassalamu’ala Rasulillah waba’. Suka untuk saya memulakan perbahasan ini dengan memetik firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Bermaksud: Orang-orang yang kami berikan kekuasaan di bumi mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan menyuruh perkara yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar dan kepada Allah jua lah kesudahan segala urusan.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan tidak lupa juga kepada rakan-rakan media, Pemerhati-pemerhati yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian. Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan atas Titah Baginda yang saya kira merangkumi kesemua aspek berkait dengan pentadbiran Kerajaan Negeri dan juga perbahasan-perbahasan sama ada daripada pihak Kerajaan mahupun daripada pihak Pembangkang yang telah menyentuh sudut-sudut penting yang telah digariskan di dalam Titah Tuanku Sultan.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, di dalam Dewan yang mulia ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada Negara Brunei, negara jiran kita yang mana telah mengisytiharkan untuk melaksanakan Hukum Jenayah Syariah sepenuhnya bermula daripada 3hb. April yang lepas. Bermula daripada beberapa hari yang lepas dalam ucapan yang telah disampaikan oleh Sultan Brunei yang saya kira ia adalah satu perkara yang sangat besar dalam konteks Kesultanan Islam di Tanah Melayu. Walaupun sebuah negara kecil tetapi sanggup untuk melaksanakan perkara yang sangat besar ini walaupun berdepan dengan berbagai-bagai ancaman khususnya daripada kuasa-kuasa besar dunia. Ini adalah merupakan salah satu daripada mata rantai Kesultanan Islam di Tanah Melayu ini daripada utara di Selatan Thailand seterusnya di Selatan Kesultanan Brunei dan lain-lain lagi dan sehinggalah di Tanah Melayu ini yang telah memartabatkan syariat Islam beratus tahun lamanya. Berdasarkan kepada semangat inilah kita melihat bagaimana dalam Titah Tuanku Al-Sultan menekankan perkara pertama menunjukkan kepada kita bagaimana keprihatinan Tuanku berkait dengan ancaman-ancaman semasa yang berlaku terhadap Islam. Pihak-pihak tertentu yang ingin mencuba bagi menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan yang telah terbina sekian lama di bumi Malaysia yang tercinta ini. Dan kita melihat bagaimana dalam Titah Tuanku yang menyebut bagaimana di sana terdapat pihak yang berani melakukan perkara-perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, memperlekehkan Institusi Diraja dan banyak lagi perkara yang berpotensi mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Kita melihat PAS sebagai sebuah Parti Islam sudah tentulah menjadikan agenda Islam adalah agenda yang paling penting bukan sahaja ketika menjadi parti pembangkang bahkan juga ketika menjadi parti yang memerintah. Inilah yang ditunjukkan oleh PAS yang memerintah di Kelantan dan juga di Terengganu ini walaupun disebut oleh Yang Berhormat Hulu Besut, PAS ni memerintah hanya satu penggal sahaja tetapi saya melihat satu penggal pemerintahan PAS khususnya pada penggal lepas telah berjaya mengembalikan semula Undang-Undang Tubuh Asas Negeri Terengganu yang bertunjangkan kepada Al-Quran, As-sunnah, Ijmak dan Qias yang gagal dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum ini walaupun beberapa penggal. ....(Tepukan sokongan) .... Itu cerita lamalah.

Yang di-Pertua, rakan-rakan Ahli-ahli Yang berhormat, lanjutan daripada apa yang ditekankan di dalam Titah Tuanku, timbul agenda perpaduan ummah yang banyak disentuh oleh rakan-rakan saya semalam dan juga hari ini, Yang Berhormat Kijal Ketua Pembangkang, Yang Berhormat Telemong, Yang Berhormat Batu Rakit cuma Yang Berhormat Hulu Besut banyak kali sebut bersatu. Saya bimbang juga, saya doakan mudah-mudahan beliau dan kita semua istiqomah dalam perjuangan Insya-Allah. Apa yang penting bagi saya lafaz-lafaz yang digunakan adalah biasa saja, yang lebih penting ialah bagaimana pelaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Telemong. Walaupun kita mengguna lafaz-lafaz tersebut, yang penting ialah kebersamaan dalam tindakan. Alhamdulillah, dengan kerjasama di atas asas perpaduan ummah ini kita boleh bersama-sama khususnya dalam perkara-perkara yang kita persetujui isu Islam dan ancaman terhadapnya, Melayu, bumiputera dan kepentingan rakyat secara umumnya. Saya percaya bahawa kerjasama yang dijalankan ini Insya-Allah akan membawa satu perubahan yang besar pada PRU Ke-15 yang akan datang yang akan membawa kerjasama ini memerintah Putrajaya Insya-Allah. Cuma untuk Negeri Terengganu ini kita beri pada PAS dululah memerintah.

Kita melihat bagaimana kerjasama yang utuh ini telah diambil satu respon yang sangat negatif daripada pihak-pihak yang tidak mahu melihat umat Islam, Melayu bersama di dalam membawa agenda-agenda yang saya sebutkan tadi. Saya sebut di sini beberapa contoh antaranya ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri kewangan yang menyifatkan hubungan ini umpama mengisytiharkan perang terhadap masyarakat non muslim di Malaysia. Ada juga pimpinan di sana yang menuduh hubungan kedua-dua parti ini akan membentuk negara seperti acuan Taliban di Afganistan. Sehingga yang lebih dasyat daripada itu mengaitkan perkara dan peristiwa berdarah yang berlaku di New Zealand baru-baru ini akan membawa kepada sikap-sikap melampau dalam konteks politik di negara kita.

Saya ingin tegaskan walaupun kita umat Islam bersama, kita sama sekali tidak menzalimi dan menindas orang-orang bukan Islam. Inilah yang dapat kita lihat dalam negara kita khususnya di Negeri Terengganu ini walaupun jumlah umat Islam melebihi 95%, tetapi masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan aman damai sama ada ketika pemerintahan Barisan Nasional dahulu, mahupun ketika pemerintahan PAS pada penggal ini dan pada penggal-penggal sebelum daripadanya. Kita tidak menafikan hak mereka. Apa yang berlaku kita melihat umat Islam manoriti yang tinggal di negara bukan Islam majoriti banyak yang dizalimi dan ditindas. Tidak perlu kita mengambil contoh-contoh di negara-negara yang jauh, yang paling dekat dengan kita umat Islam Rohingya minoriti di Myanmar yang di zalimi dan di tindas. Kita melihat kenyataan-kenyataan seperti ini adalah kenyataan-kenyataan yang biadab dan tidak bertanggungjawab.

Kita mahu mengajak mereka yang mendakwa dan menuduh dakwaan-dakwaan ini untuk datang bertandang ke Negeri Terengganu, ke Kelantan, ke Pahang, dan negeri-negeri lain yang majoritinya umat Islam bagaimana masyarakat majmuk hidup dalam keadaan aman dan damai tidak berlaku kekecohan dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya suka untuk menyentuh satu perkara penting yang melibatkan Politik Nasional yang saya kira berkait rapat dengan kebimbangan yang dititahkan oleh Tuanku Sultan. Berkait dengan perubahan politik pilihan raya yang mungkin akan berlaku dalam PRU yang Ke-15 yang akan datang. Dan ini diutarakan juga oleh Yang Berhormat Yang di-Pertua dalam ucapan alu-aluannya ketika membuka Dewan ini. Berkait dengan persempadanan semula pilihan raya yang mana malangnya, kita melihat di negeri-negeri yang mempunyai kaum Melayu dan bukan Melayu sama ada hampir sama ataupun perubahannya hanya sedikit di situ di tambah banyak kerusi-kerusi Parlimen tetapi negeri-negeri majoriti Melayu seperti Terengganu tidak ditambah jumlah kerusi. Ini di antara kesilapan-kesilapan lalu kerajaan lepas walaupun kita nak bekerjasama tetapi tidak menjadi masalah untuk kita bermuhasabah supaya kita melihat kesilapan-kesilapan lampau untuk kita membina kekuatan pada masa yang akan datang.

Apa yang membimbangkan kita, antaranya ialah Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membina Perlembagaan bagi menurunkan hak umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Walaupun ini baru peringkat cadangan yang mana perlu melalui proses-proses ini akan dibawa ke Parlimen. Tetapi jika sekiranya perkara ini dipersetujui dan diamalkan kita melihat ia adalah satu cabaran besar kepada negara kita khususnya generasi muda. Bayangkan pada hari ini kita mempunyai 18 juta warganegara yang berumur 21 tahun ke atas dan layak menjadi pengundi, kalaulah ditambah dengan umur 18 tahun diturunkan, maka sudah tentu akan meningkat jumlah pengundi PRU yang Ke-15 yang akan datang. Maka di sini saya ingin menyarankan kepada Kerajaan Negeri khususnya portfolio yang berkaitan dengan belia supaya kita melihat ini sebagai satu cabaran bagaimana untuk kita mendepani cabaran ini dengan kita mendidik generasi remaja belia supaya memahami politik yang berlaku di dalam negara kita dan supaya mereka membuat keputusan yang tepat dalam PRU yang mereka sertai.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, akhirnya saya ingin menyentuh yakni juga disebut di dalam Titah Ucapan Tuanku Sultan bagaimana kepimpinan yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Besar setelah 10 bulan kepimpinan baharu menerajui Terengganu, kita terus mengorak langkah meneruskan legasi, melunaskan janji.

Alhamdulillah 13 daripada tawaran manifesto yang jumlahnya 20 sama ada telah dilaksanakan dan sedang dilaksanakan. Kita tidak seperti Kerajaan PH yang hanya pandai berjanji tetapi tidak menunaikan janji dan meneguhkan aspirasi. Kita bersyukur kepada Allah kerana Kerajaan Negeri Terengganu yang baharu bukan sahaja telah menyedia perancangan jangka pendek seperti belanjawan tahunan malah juga bersedia dengan perancangan jangka sederhana iaitu 15 tawaran manifesto dan perancangan jangka panjang iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030. Ini menunjukkan bagaimana persediaan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri hatta sebelum diberikan mandat oleh rakyat untuk kita memerintah Negeri Terengganu ini supaya ianya dapat mengembalikan manfaat kepada rakyat.

Apa yang penting ialah bagaimana kita melaksanakan janji-janji dan tawaran-tawaran yang disebutkan tadi. Di antaranya ialah dengan kita membudayakan politik matang dan sejahtera. PAS alhamdulillah dengan politik matang dan sejahtera ini kita bukan sahaja mahu menyebut secara teori tetapi kita mahu membudayakan dalam masyarakat kita. Parti-parti politik mahupun hubungan di antara dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Saya ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang mengambil langkah Diplomasi Politik Matang Dan Sejahtera yang sentiasa pergi berjumpa, berbincang dan saya juga mengucapkan tahniah kepada Ketua Pembangkang yang tadi menyebut beliau bersedia bila-bila masa untuk memastikan manfaat hasil daripada perbincangan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat ini kembali kepada rakyat Negeri Terengganu kita ini. Dan insya-Allah saya doakan mudah-mudahan segala usaha yang kita lakukan ini diberkati oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala apa yang penting ialah keikhlasan di dalam diri kita dan seterusnya Batu Burok mohon menyokong Titah Ucapan Tuanku Sultan. Sekian. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Batu Burok. Alhamdulillah kita telah selesai sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih kepada Titah Ucapan Tuanku Sultan. Sebahagian besar dan cuma ada beberapa orang yang tak sempat, terlibat sepanjang perbahasan daripada kelmarin sampai pada ini dengan pelbagai pendekatan dan gaya. Jadi, insya-Allah pada sebelah petang nanti saya akan menjemput Wakil Kerajaan untuk membuat pergulungan isu-isu yang ditimbulkan sepanjang dua hari perbahasan berhubung dengan Titah Ucapan Diraja. Yang Berhormat sekalian saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 2.30 petang ini.

PUKUL 2.30 PETANG

Yang di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Mesyuarat disambung semula. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebagaimana yang saya sebutkan sebelum kita rehat tadi, pada petang ini sampai masanya giliran pihak Kerajaan untuk membuat penggulungan di atas segala isu-isu yang dibangkitkan dalam perbahasan dua hari ini. Jadi, saya nak mulakan dengan Wakil daripada Kota Putera memulakan penggulungan bagi pihak Kerajaan. Dipersilakan.

Mohd Nurkhuzaini bin Ab RahmanPAS · PNKota Putera

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Alhamdulillahilladzi hadana lihadza wama kunna linahtadiyalaula an hadanallah. Asyhadu alla ila ha illallah wa asyhadu anna Muhammadan abduhu warasuluh. Subhana qala ‘lmalana illama ‘allamtana innaqa an tal’ali mul hakim. Rabisy rahli sadri wayarsirli amri wahlul ukhdatan minlisani yafkohu qauli.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua Dewan, yang dihormati lagi dikasihi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Dr. Samsuri bin Mokhtar, sahabat-sahabat barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan seterusnya Pemerhati dan hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian. Setinggi-tinggi kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang memberi keizinan untuk kita sekali lagi dapat berada dalam Dewan yang mulia ini bagi Persidangan Penggal Kedua DUN Keempat Belas.

Saya mengambil kesempatan ini ingin menjunjung kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin di atas Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan dalam istiadat pembukaan pada hari Isnin yang lepas.

Saya sangat berbangga apabila mendengar Titah Ucapan Tuanku itu kerana telah menyentuh hampir keseluruhan tindakan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Kita sangat bertuah kerana ditakdirkan mempunyai seorang Sultan yang begitu prihatin terhadap Kerajaan dan rakyat. Saya merakamkan dan mendoakan agar Tuanku Al-Sultan diberi kesihatan yang berterusan dan sentiasa mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar terus dapat memimpin dan memayungi rakyat Terengganu ini.

Tuan Yang di-Pertua, alhamdulillah pada kali ini pada peringkat awalnya tidak banyak Yang Berhormat-Yang Berhormat yang bercakap menyentuh portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Tetapi akhir-akhir hari ini barulah ada yang fokus sedikit pada portfolio ini dan insya-Allah dalam penggulungan ini saya cuba memberikan respon-respon terhadap apa yang dibangkitkan. Saya tidak bercadang untuk sebut satu persatu Yang Berhormat yang menyentuh kerana ada perkara-perkara yang berlaku secara bertindan. Pertanyaan-pertanyaan khususnya kepada TUGAS, Tabung Terengganu Sejahtera, Tabung Usahawan Sejahtera, banyak juga yang bertanya dan minta untuk diperincikan. Insya-Allah, saya cuba ambil masa ini untuk perincikan perkara-perkara sedemikian.

Tuan Yang di-Pertua, pada Bajet 2019 yang lepas telah diluluskan dalam Sidang DUN ini Kerajaan Negeri telah melaksanakan janji manifestonya dengan mewujudkan Tabung Keusahawanan yang dinamakan TUGAS iaitu Tabung Usahawan Sejahtera. Alhamdulillah, cuma jumlahnya yang agak tersasar sedikit daripada manifesto yang dijanjikan. Di dalam Manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di dalam 20 perkara yang kita janjikan kepada rakyat, kita telah menjanjikan akan mewujudkan Tabung Usahawan berjumlah RM10juta tetapi Kerajaan Negeri telah meluluskan tidak RM10juta, alhamdulillah, RM15juta. Mungkinkah ini termasuk dalam mungkir janji kerana kita janji RM10 juta, kita bagi RM15juta. Tapi, untuk makluman sidang hadirin hadirat dan Yang Berhormat sekalian, inilah cara kita mungkir janji kita. Kita janji RM10 juta, kita bagi RM15 juta. Kalau itupun diletakkan kategori mungkir janji, jadi mungkir janji inilah yang kita hasrat untuk amalkan setiap kali dalam perjanjian-perjanjian yang kita janjikan, tidak sepertimana orang berjanji, janji RM10 juta, habuk pun tak ada.

Alhamdulillah, Allah memberikan kekuatan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan kepimpinan untuk terus melaksanakan janji kita kepada rakyat dalam bidang keusahawanan ini dan juga saya juga merakamkan terima kasih kepada Bukit Besi tadi yang menyebut bahawa inilah jumlah yang besar diperuntukkan dalam keusahawanan kerana beliau pun sendiri datang daripada keusahawanan. Memang pada peringkat awal, ceritanya kita rasa besar berbanding dengan yang lama-lama itu kecil. Tetapi dalam pelaksanaan kita dalam tiga bulan, dalam 2019 ini rasa macam RM15 juta kecil pula Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Jadi, insya-Allah dengan kapasiti yang ada kita cuba laksanakan sebaik mungkin amanah ini dan kita akan tunaikan kepada rakyat seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Bukit Besi juga tadi, dia kata rakyat tak nak janji sahaja tapi rakyat nak tahu bila dan berapa yang dia akan dapat. Insya-Allah ada di tangan saya ini, jumlah-jumlah yang kita perincikan permohonan daripada rakyat sehingga kepada hari ini. Tuan Yang di-Pertua, antara perkara yang boleh dibanggakan juga adalah dalam pelaksanaan TUGAS dengan jumlah yang saya sebutkan tadi adalah jumlah yang besar tetapi pelaksanaannya adalah kita menyediakan pinjaman, bantuan yang tanpa riba atau yang disebut oleh Y.B. Jabi tadi pinjaman tanpa faedah. Saya tak berapa nak guna tanpa faedah ini sebab orang “duk gelar” dia kata pinjam buat gape, takdok faedah bukan tak ada faedah yang itu tapi tanpa riba. Dan kita mendapat maklumat bahawa kita antara negeri yang terulung yang mengetengahkan pinjaman kepada rakyat yang tidak mengenakan apa-apa riba terhadap pinjaman tersebut. Apabila berita ini tersebar di dalam banyak facebook, media baru sekarang ini, feedback yang daripada ramai rakyat negeri lain yang cemburu ataupun jealous dengan izin, kerana mereka bukan daripada rakyat Terengganu. Jadi rakyat Terengganu seharusnya merasa bangga dengan kepimpinan Kerajaan sekarang yang boleh memberikan suatu bantuan yang boleh mengirihatikan orang lain.

Alhamdulillah inilah satu daripada perkara yang kita hendak ketengahkan kerana kita nak buat walaupun bidang keusahawanan ini tidak nampak direct syariahnya, kalau tidak ada undang-undang khusus tetapi saya yang dipertanggungjawabkan ini ingin sangat melaksanakan setiap daripada tanggungjawab itu sesuai dan menjadi patuh syariah. Alhamdulillah.

Tuan Yang di-Pertua, dalam ucapan sedikitlah daripada Hulu Besut semalam menyatakan bahawa sepertimana yang disentuh oleh Batu Burok juga tadi, bahawa sejarah PAS memerintah Terengganu ini sepenggal, insya Allah dengan usaha-usaha yang telah dibuat ini kami di barisan Kerajaan dan juga Backbenchers Kerajaan Negeri berusaha keras untuk memecahkan rekod ini, rekod yang keramat ini pada penggal yang akan datang insya Allah juga diterajui oleh Kerajaan daripada Parti Islam Semalaysia (PAS).

Tuan Yang di-Pertua, saya suka menyentuh berkenaan dengan peluang pekerjaan. Banyak Yang Berhormat menyentuh berkenaan dengan peluang-peluang pekerjaan yang dijanjikan oleh Kerajaan. Sebenarnya pihak kerajaan beriltizam untuk membuka peluang-peluang pekerjaan ini sebanyak mungkin, bukan sahaja menjadikan bidang usahawan itu sebagai bidang pekerjaan ataupun sara diri ataupun sumber pendapatan kepada rakyat tetapi juga kita berhasrat untuk melahirkan tenaga-tenaga kerja mahir dan separuh mahir untuk dijadikan pekerjaan mereka. Dan alhamdulillah setakat hari ini kita telah menerima permohonan apa yang kita panggil pekerjaan..... Allahumma Salli ‘Ala Sayyidina Muhammad, melahirkan tenaga separa mahir kepada school leaver yang selepas daripada sekolah. Alhamdulillah pada awal bulan lepas, kita telah menerima permohonan 130 dan kita sekarang ini di dalam short listed untuk mengambil 30 yang pertama pelajar-pelajar yang kita akan bagi, akan latih mereka dalam bidang fiber optik selama 8 bulan, 4 bulan dalam kelas dan 4 bulan kita akan attachkan ke syarikat-syarikat yang berada dalam bidangnya. Kerana apa kita pilih fiber optik ini? Ia berdasar kepada maklumat-maklumat daripada kita dapat adalah bidang ini menjadi demand yang tinggi di dalam bidang pekerjaan sekarang hari ini.

Jadi berdasar kepada pengalaman-pengalaman yang lepas, di peringkat teraju sendiri juga membuat perkara yang sama dan 98% dapat memberikan pekerjaan sebaik sahaja selepas daripada tamat tempohnya. Yang 2% itu bukanlah kerana kegagalan sistem itu tetapi gagal kerana pelajar itu tidak dapat bekerja kerana ibu ataupun keluarga mereka sakit dan menerima musibah menyebabkan mereka tidak dapat bekerja di tempat yang disediakan.

Tuan Yang di-Pertua, dalam merangka peluang pekerjaan ini, kita meletakkan dalam bidang usahawan menjadi suatu perkara yang utama untuk menjadikan rakyat kita suka involve ataupun terlibat dalam keusahawanan dan bersesuaian sangatlah apabila Kerajaan memberikan bantuan, meluluskan Tabung Usahawan Sejahtera sebanyak RM15 juta. Jadi dalam pelaksanaan Tabung tersebut, kita tidaklah menggunakan satu tabung sahaja, kita telah membuatkan beberapa skim-skim ataupun dana-dana yang lain, maknanya daripada tugas itu, kita telah memperincikan beberapa tabung-tabung lain, ini bertujuan untuk membuat KPI yang berbeza terhadap pemohon-pemohon. Contohnya kita ada Tabung Siti Khadijah, kita ada Tabung Pembiayaan Atas Talian, kita ada tabung, kita ada Skim Pembiayaan Mobile Truck. Jadi setiap tabung-tabung ataupun skim-skim ini, kita buat KPI-nya tersendiri untuk mengelak ada golongan-golongan sasar yang tercicir. Contoh yang boleh saya berikan dalam Sidang Dewan yang mulia ini, kalau kita buat satu saja tabung, KPI dia mestilah satu sahaja dan kemungkinan pada waktu itu belia-belia akan bersaing dengan muslimat ataupun wanita ataupun bersaing dengan Orang Kurang Upaya menyebabkan apabila satu KPI saja diletakkan, mungkin 7 ataupun 8 diperolehi oleh belia, 2 daripada kaum wanita dan tidak ada dalam golongan Orang Kurang Upaya.

Jadi untuk mengelakkan perkara ini, Kerajaan telah membuat beberapa Skim ataupun Dana ataupun Tabung yang sub kepada tugas ini. Jadi dia ada, semuanya ada 6, kalau boleh saya maklumkan kepada Dewan yang mulia ini iaitu sebahagian yang saya sebutkan tadi, tapi nak sebut semula: Yang pertamanya kita panggil SP3T iaitu Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu. Yang keduanya yang disebut tadi TSK iaitu Tabung Siti Khadijah. Yang ketiga, SPIN iaitu Skim Pinjaman Atas Talian Terengganu. Yang keempat, SPMT iaitu Skim Pembiayaan Mobile Truck. Yang kelima, DUIT, Dana Usahawan Industri Mikro Terengganu. Dan keenam, DIHATI iaitu Dana Prihatin Terengganu untuk Orang Kelainan Upaya. Inilah keenam-enam yang sub Tabung kepada tugas tersebut yang kita perincikan mengikut kategori-kategori pemohon-pemohon itu sendiri.

Dan untuk makluman Dewan sepertimana ditanya oleh Kuala Besut tadi dan disoal juga oleh Bukit Besi berkenaan dengan berapakah jumlah yang telah terima sekarang, hari ini. Untuk SP3T kita terima permohonan sebanyak 130, untuk TSK, Tabung Siti Khadijah berjumlah 100 pemohon, SPIN Atas Talian berjumlah 21, Mobile Truck - 0, tidak ada pemohon lagi, DUIT ataupun Dana Usahawan Industri Mikro Terengganu - 26 dan DIHATI - 14 untuk Orang Kelainan Upaya, so jumlahnya berjumlah 291 sehingga kini. Tetapi borang yang kita, pihak YPU telah keluarkan lebih daripada 1,000 borang kita telah cetak dan habis diambil oleh pemohon-pemohon. Mungkin akan dikembalikan dalam sedikit masa lagi. Untuk jawapan juga daripada Yang Berhormat Bukit Besi menyatakan ada yang memohon tapi tak ada apa ni jawapan lagi. Benda itu benar kerana kita baru wujud tabung kita ini pada tahun ini dan kita mengambil masa sedikit untuk menyiapkan SOP dari segi permohonan-permohonan ini dan dalam masa yang sekarang ini kita terima dah jumlah itu dan insya-Allah jumlah ini akan kita bagikan di peringkat awal ini pada April tahun ini ataupun masuk bulan ni dah. Awal April ini akan kita buat mesyuarat pertama dan insya-Allah dalam masa terdekat kita akan maklumkan kepada pemohon-pemohon yang berjaya di atas permohonan itu.

Dalam masa yang sama Tuan Yang di-Pertua, kita hendak menghadapi Ramadan dan saya menerima rungutan daripada peniaga-peniaga kecil kita apabila nak berhadapan dengan Ramadan ini peniaga-peniaga banyak terlibat dalam Bazar Ramadan dan apabila nak berniaga bulan Ramadan ni dia memerlukan modal lalu pihak YPU kita berbincang untuk meringankan tenaga peniaga-peniaga kita ini dan kita menawarkan dengan kerjasama Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Negeri Terengganu. Kita bagi pinjaman jangka pendek kepada peniaga-peniaga Bazar Ramadan seluruh Negeri Terengganu yang berjumlah tidak lebih daripada RM3,000. Dan permohonan-permohonan sekarang ini kita telah terima daripada peniaga-peniaga tersebut berjumlah 406 orang dan insya-Allah kita akan proses dalam masa terdekat dan kita akan bagi pinjaman ini kepada peniaga-peniaga kita ini sebab saya pun asal daripada penjaja kecil. Saya masih lagi ingat mak ayah saya bagaimana apabila nak berhadapan dengan .... dia menjaja di depan sekolah jer tapi apabila sekolah itu mengadakan Sukan Peringkat Daerah, bagaimana peniaga-peniaga kecil ini terpaksa pergi ke rumah-rumah mak saudara ataupun adik beradik dia yang lain untuk pinjam sikit duit untuk buat modal, buat modal kepada event tersebut. Jadi perkara ini apabila datang kepada saya mengimbau balik peristiwa bagaimana susahnya bukan senang orang nak bagi pinjam ni walaupun kita tahu orang itu banyak duit tetapi atas dasar kesedaran itulah saya memudahcarakan perkara ini agar dapat peniaga-peniaga kecil kita mudah untuk berhadapan dengan situasi Bazar Ramadan untuk mereka mendapat pendapatan yang lebih pada bulan Ramadan nanti dengan Bantuan Pinjaman Jangka Pendek ini. Kita pergi kepada mereka jumlah yang saya sebutkan tadi dan mereka perlu bayar balik sebaik sahaja habis Ramadan sehingga akhir Syawal makna lebih kurang sebulan sebulan setengah sahaja kita bagi pinjaman kepada mereka untuk mereka betul-betul dapat optimumkan pemberian itu untuk bulan Ramadan.

Tuan Yang di-Pertua, di dalam kita menggalakan usahawan ini saya melihat satu perkara yang perlu kita tingkatkan iaitu permohonan Persijilan Halal di kalangan peniaga-peniaga kita agak kurang memberangsangkan. Ini adalah kerana kita berada dalam zon selesa kerana kita di dalam Negeri Terengganu yang bertuah ini tidak banyak orang yang bukan Islam menjadikan produk-produk keluaran kita tidak dinilai oleh pembeli-pembeli. Contohnya nama Fatimah makna terus kita kata boleh beli perkara ini, barangan ini tetapi kalau berada di sebelah Pantai Barat, Fatimah ini kena tengok elok-elok ‘Faateemaah’ sebutnya sama juga Fatimah tapi daripada pembuatnya adalah bukan Islam. Oleh kerana kita berada dalam zon selesa menyebabkan usahawan-usahawan kita tidak begitu menjadi keutamaan mereka untuk memiliki Sijil Halal. Jadi di sini YPU dan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu kita buat kempen untuk mendapatkan peniaga-peniaga, usahawan-usahawan kita ini memohon Sijil Halal itu dengan kita bagi syarat kepada peniaga-peniaga, usahawan-usahawan yang ingin ikut serta dalam program-program yang dianjurkan oleh YPU mestilah mereka mempunyai Sijil Halal. Dan alhamdulillah selepas daripada makluman itu dikeluarkan kita dapat maklumat pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu menerima permohonan-permohonan yang lebih daripada usahawan-usahawan kita untuk mendapatkan Sijil Halal. Sijil Halal ini pula pihak Jabatan Hal Ehwal Agama, pihak Persijilan Halal telah memudahkan, kalau sebelum ini Sijil Halal mesti salah satu syaratnya selain daripada ada kedai mestilah ada sijil daripada Pihak Penguasa Tempatan tetapi sekarang hari ini pihak Persijilan Halal telah memudahkan boleh buat di rumah masing-masing tetapi mestilah diasingkan kegiatan usahawan itu dengan kegiatan harian mereka.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat, panjang lagi dok?

Ada sikit jer lagi.

Yang di-Pertua

Dah masuk 25 minit.

25 minit dah? Rasa sekejap baru. Okey, saya dah dekat penghujung kepada penggulungan saya. Saya nak sentuh sedikit berkenaan yang disebut oleh Y.B. kita berkenaan dengan Kompleks Tuanku Nur Zahirah iaitu yang merupakan Bangunan Milik Kerajaan Negeri yang menempatkan Pejabat Operasi Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) dan Bengkel Tenunan Songket di tingkat bawahnya. Secara dasarnya Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) ini merupakan pusat utama rujukan, pameran, demonstrasi, bimbingan, rekaan dan penyelidikan Pembangunan Fabrik Songket. Kompleks ini juga akan dijadikan pusat inovasi berasaskan tradisi warisan songket. Kompleks ini bertindak sebagai inkubator untuk membimbing tenaga muda dengan khidmat nasihat dalam aspek corak reka bentuk fesyen dan songket.

Jadi itu sahaja saya rasa yang saya hampiri pada kesemua dah yang tercatit ini yang telah saya bangkitkan mudah-mudahan dengan jawapan itu dapat memberi penjelasan yang mantap kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat pada kemusykilan-kemusykilan yang telah diutarakan. Jadi saya juga merakamkan, menyokong Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan. Walahua’lam. Assalamua’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Wa’alaikumusalam waramatullah. Terima kasih pada Wakil Kota Putera. Saya bercadang untuk menghabiskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan pada petang ini juga. Oleh sebab itu, pandai-pandailah menggunakan masa dengan bijaksana dan kalau tak cukup masa kita kena sambung selepas pada pukul 5.00 petang. Saya persilakan wakil daripada Kuala Berang menggulung bagi pihak Kerajaan.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabaraktuh. Alahamdulillahir rabbil ‘alamin, Assalatuwassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, semua Pemerhati sekalian. Marilah kita panjatkan kesyukuran kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan limpah izinnya kita dapat bersama-sama di Dewan ini di dalam Ucapan Titah kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.

Jadi bahagian saya ni ada beberapa Yang berhormatlah yang membangkitkan berkaitan dengan infra. Jadi secara ringkasnya saya suka menyebut di sini bahawa di antaranya ialah wakil daripada Sura telah membangkitkan berkaitan dengan muara sungai di Dungun yang mana kita tahu bahawa tahun lepas Yang Berhormat Sura ni dah bangkit dah, jadi nampak sesuatu perkara yang amat penting kepada penduduk di Dungun supaya benda ini dapat diselesaikan dalam kadar segera. Kita tahu bahawa, muara sungai di Dungun ini amat cetek. Dan Kerajaan pada tahun 2011 telah membelanjakan kira-kira RM7 juta untuk menggali, mengorek muara tersebut. Tetapi tahulah kerja pasir ini berjalan 24 jam. Jadi dalam beberapa bulan sahaja kita korek ni dia kambus semula. Kemudian kita lihat bahawa pada tahun 2016 telah diserahkan kepada satu syarikat untuk nak gali balik. Kemudian tahun 2017, kita dimaklumkan bahawa empat orang telah meninggal kerana masalah kecetekan sungai ini. Jadi, kebetulan pula ada perubahan daripada Kerajaan, kita buat iaitu kita luluskan pasir ini untuk dieksport. Maka syarikat yang kita beri pada tahun 2016 tu dia mohon balik supaya dia dapat korek dan mengeksportkan pasir ini keluar. Jadi pada hari ini, kalau kita pergi ke Sungai Dungun, muara Sungai Dungun sekarang ni dah ada mother vessel ataupun ibu kepada kapal ni yang membawa pasir ini keluar negara. Jadi mother vessel ini dengan dibantu oleh vas iaitu macam feri itu kita boleh letak pasir ada beberapa buah. Jadi kerja-kerja ini sedang berjalan dan alhamdulillah setakat ini walaupun .....

Yang di-Pertua

Yang Berhormat, ada minta laluan, boleh? Sila.

Saya nak dapat penjelasan. Bila Kerajaan Negeri Terengganu membuka dasar menjual pasir ke luar negara selain daripada di Malaysia? Terima kasih.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih ADUN Kijal. Kita telah bermesyuarat baru-baru ini dan kita lulus pada tahun akhir 2018 kepada syarikat, saya lupa tetapi kalau tak salah saya Asal Jasa dan jugak di Kemaman kita luluskan kepada satu syarikat yang lain. Jadi dua syarikat yang kita luluskan.

Yang di-Pertua, pasir ini dijual ke negara mana?

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Saya dimaklumkan dijual ke Hong Kong kerana di sana permintaan tinggi dan diberi kemudahan kepada kontraktor atau pun orang yang nak ambil pasir ini. Kalau kita pergi .....

Yang di-Pertua

Teruskan, teruskan.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Kalau kita pergi ke muara Sungai Dungun hari ini, kita dapati bahawa kerja-kerja ini sedang dijalankan. Dan alhamdulilah setakat hari ini sudah tiga kapal telah dieksport pasir ini dan mendatangkan hasil kepada Kerajaan Negeri kira-kira dalam RM1.2 juta. Kerja-kerja mengorek pasir ini dipantau oleh Jabatan Laut bersama dengan Pejabat Tanah Dan Galian dan jugak oleh JPS itu sendiri. Jadi mereka hendaklah melaporkan hasil daripada pengorekan ini berkala dari masa ke semasa kepada pihak JPS. Saya rasa itulah jawapan kepada Sura. Puas hati?

Seterusnnya, Wakil Tepoh bercakap berkaitan dengan projek-projek yang terbengkalai yang perlu diselesaikan dan kita dapati bahawa ada beberapa projek yang berskala besar yang menjadi masalah kepada kita pada hari ini. Pertamanya saya suka menyebutkan berkaitan dengan Taman Ilmu. Dan di sana JKR telah membuat kajian anggaran kasar untuk membaikinya memerlukan kira-kira RM250 juta. Kemudian juga berkaitan dengan Pulau Bebas Cukai yang masih belum siap memerlukan sebanyak RM60 juta. Hotel di Pulau Poh begitu juga kira-kira RM70 juta dan jambatan nak menghubungkan ke Pulau Poh itu RM50 juta. Jadi, di sini saja memerlukan kira-kira RM180 juta.

Begitu juga berkaitan dengan Stadium Sultan Mizan yang mana dijangka memerlukan hampir RM120 juta untuk diperbaiki. Dan satu lagi untuk mengindahkan Stadium Sultan Ismail, yang ni tak sampai RM1 jutalah kira-kira RM136,000 sahaja. Dan alhamdulillah saya dimaklumkan pagi tadi Kerajaan Negeri telah meluluskan RM20,000 untuk mengecat stadium tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Tepoh kerana disuarakan itu maka Kerajaan telah meluluskan walau pun belanjanya agak kecil.

Kemudian juga dinyatakan berkaitan dengan masalah kewangan kita. Kalau dulu pernah dibangkitkan berkaitan dengan deferred payment dan juga schedule payment yang menjadi masalah kepada Kerajaan Negeri pada hari ini dan juga Kerajaan Negeri di masa-masa hadapan, tahun-tahun hadapan. Kerana kita kalau lihat projek dua perkara tadi iaitu deferred payment dan schedule payment kita berhutang kira-kira RM2,966 juta, hampir RM 3 bilion. Yang mana pada tahun ini, tahun 2019 kita kena membayar sebanyak RM221 juta, untuk nak bayar hutang sahaja. Dan dijangka tahun depan, tahun 2020, RM346 juta. Naik lagi 2021 sebanyak RM386 juta dan tahun 2022, naik lagi kepada RM385 juta. Inilah saya katakan tadi bebanan ini bukan pada tahun ini sahaja bahkan in the future masa-masa yang terdekat tahun-tahun yang mendatang ini menjadikan satu masalah yang agak besar kepada Kerajaan. Seterusnya, ada beberapa ADUN membangkitkan berkaitan dengan pembinaan masjid. Ya, sila .....

Terima kasih Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Berang. Boleh atau pun tidak untuk projek-projek yang berkonsepkan deferred payment ini dilakukan semakan semula supaya beban tanggungan tersebut dapat diringankan untuk pihak Kerajaan. Terima kasih.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Yang Berhormat Tepoh. Dari segi projek itu kita tidak boleh nak ubah dah, memang harganya begitulah iaitu: Pertamanya, Kerja-kerja membaikpulih Loji Air di Bukit Sah, Kemaman sebanyak RM686 juta. Kemudian, Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara RM1,305 juta (RM1.3 bilion). Jadi projek ini begitulah kos dia, tetapi kaedah membayarnya mungkin kita boleh bincang untuk sikit-sikit saja bayar taklah sampai beratus-ratus juta satu tahun. Jadi kalau kita sewa kereta gok, kita kata pergi ke bank, kita buat refinance balik. Ini saya tak tahulah kita kena tanya expertise daripada Perbendaharaan dan daripada Kewangan bagaimana kaedah untuk supaya kita boleh bayar. Terima kasih.

Seterusnya, berkaitan dengan masjid-masjid yang dibangkitkan oleh sahabat-sahabat kita tadi. Sebenarnya kita memang kalau boleh nak buat belaka masjid ni, bendanya baik, bendanya bagus tapi gitulah, bila kita gagal projek kita ini, kosong, nak buat guaner. Jadi saya ucap terima kasihlah kalaulah kita ada keberanianlah ataupun kita ada kesungguhan, dulu saya baca dah ayat tu, kita pakat derma-derma, kita pakat binalah sekadar kita boleh buat. Kita nak dapat pahala ni, pahala bina masjid ni amatlah besar. Untuk Batu Rakit, berkaitan dengan Masjid di Mengabang Lekor ni, MAIDAM dah lulus hanya peruntukan sahaja tidak ada. Insya-Allah kita tunggulah.

Seterusnya, berkaitan dengan masalah pengambilan tanah iaitu apa yang dibangkitkan oleh Air Putih, Yang Berhormat Cikgu Razak kita kerana projek ini dalam kawasan dia. Sebelum pilihanraya dulu, menjadi bahan kempen kepada Yang Berhormat Cikgu Razak ni, bahawa di sana ada satu projek daripada Kerajaan Federal, kos dia RM139 juta untuk jalan raya daripada Exit LPT2 ke Cukai. Jadi, jalan ini melalui beberapa tanah ataupun kawasan sama ada kawasan persendirian, tanah Kerajaan dan juga dibinanya beberapa binaan secara kita kata secara haramlah tapi tidak haram macam mana dok? Dan pembinaan ini apabila nak buat jalanraya ni dia kena alihlah. Jadi inilah yang menjadi isu supaya apa yang dibangkitkan oleh Air Putih tadi bahawa dia minta bayaran. Hok ni kalau ikut Akta 425 Kanun Tanah Negara, sesiapa yang menduduki atas tanah Kerajaan ini dia kena pindahlah tanpa apa-apa bayaran. Jadi dulu kita dah beritahu bahawa memanglah tidak ada bayaran daripada Kerajaan Negeri untuk nak suruh mereka ini pindah ataupun memindahkan mereka ini tetapi bergantunglah kepada kontraktor sekiranya ada budi bicara dia untuk memberi bantuan kecil-kecilan untuk memindahkan mereka ini, itu terpulanglah kepada kontraktor.

Seterusnya, Batu Rakit juga membangkitkan berkaitan dengan masalah air di Pulau Redang. Memang saya akui memang betul, kita paip air ke Pulau Redang ini dah lama dah, 20 tahun lebih dah. Jadi bila umur paip air yang lama ini, dia mula mereput dan pecah. Tahun ini sahaja dah diberi maklum kepada saya dah 5 kali dah pecah dan pecah dalam air ni memerlukan belanja yang besar, kita perlu selam, perlu order benar, order sendiri untuk tempat pecah ini kerana luas dia itu jadi alat bracket dia tu kena order khas benar untuk tu. Jadi belanjanya memang besar. Memang ada rancangan untuk memperbaiki ataupun menggantikan paip air untuk ke Pulau Redang ini dan kita dah buat kajian memerlukan kira-kira RM100 juta untuk membekalkan air bersih ke Pulau Redang.

Seterusnya, ADUN Kijal juga membangkitkan bandar tempat dia. Bandar Baru Kijal yang dulunya hok ni salah satu daripada schedule payment iaitu RM250 juta untuk membina antaranya ialah skop membina jalanraya 6 lorong tetapi apabila kita mengambil tampuk pemerintahan, kita ubah mengecilkan skop ini kepada 4 lorong sahaja. Dan kalau kita lihat daripada paper ini, kita hanya membelanjakan RM189 juta. Jadi kita menjimatkan kewangan Negeri kita sebanyak RM61 juta. Kalau kita kira, kita buat andaianlah, contoh-contoh ni sajalah neh, ADUN Paka ni dia kahwin seorang, seorang lagi, lepas tu .....

Bakpe kait dengan Paka ni?

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Contoh, saya beri contoh saja ni.

Oh, kalau contoh okeylah.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Ingat ada sungguh tadi.

Buat contoh yang ada doh hor, Bukit Besi ke .....

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Hey....

Kijal ke, ke dok berani.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Bila kahwin, belum boleh anak lagi dok, lepas tu dia pun binalah banglo untuk cucu-cucu dia ni yang bakal lahir, yang bakal lahir, bila lahir kita tak tahu lagi. Jadi bina banglo doh ni, jadi kita rasa amat jauh ke depan. Jadi kalaulah boleh kita buat daripada 6 lorong kepada 4 lorong, tanah itu kita siapkan, kita sediakan, kita kosongkan tetapi untuk future development tak apa, boleh dibuat tetapi kita buat 4 lorong dulu kerana daripada sinilah jimat daripada 6%.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencelah?

Yang di-Pertua

Mintak laluan boleh?

Saya rasa contoh dok sesuai tu, sedia rumah banglo untuk cucu akan datang dengan buat jalan, dok sama. Kalau kata nak bini awal seorang lagi munasabah. ....(Dewan gelak) ....

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Kijal. Jadi gitulah neh. ...(Sambil tergelak) .... Sebelum saya sudahi ucapan ini, satu lagi apa yang dibangkitkan oleh Air Putih berkaitan dengan bekalan air bersih di tiga buah kampung di tempat dia.

Yang di-Pertua

Kena jawab dalam pantun.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Hok ni dokdang nak cari pantun ni. Pertama berkaitan dengan bekalan air di Kampung Lubuk Batu, hok ni saya dimaklumkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dah lulus dah, jangan risau, insya-Allah tahun ni siaplah tu. Begitu juga berkaitan dengan bekalan air di Kampung Darat Buaya, buaya darat ke darat buaya ni? Kampung Darat Buaya dan Kampung Lubuk Emas, projek bekalan air, hok ni pun juga kita telah dimaklumkan oleh pihak SATU bersama dengan UPEN, saya tanya tadi dah lulus RM800,000 untuk kemudahan kepada 52. Insya-Allah, jangan bimbang Yang Berhormat Air Putih, panjang umur boleh bertanding pula akan datang, rakyat sokong, insya-Allah menang lagi.

Seterusnya, semalam ataupun kelmarin, Yang Berhormat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier ada mari melawat ke Terengganu dan sempat berkunjung hormat kepada Menteri Besar kita dan di sana dibincang juga dan kita mengambil kesempatan kita bawa juga apa kehendak daripada Batu Rakit tadi iaitu berkaitan dengan bekalan air ke Pulau Redang. Yang ini kita beri paper dan kita maklumkan kepada beliau supaya disegerakan kerana masalah paip air yang kita ada ini agak uzur, dah lama dan perlu diselesaikan segera. Kita mintak kalau boleh tahun hadapan tapi kita mintak jerlah tu.

Begitu jugak masalah, tak ada orang tanya kali ini, iaitu masalah Sungai Merang, kalau kita tengok dalam facebook, bagaimana orang viralkan nak pergi ke Pulau Redang pada hari ini, kena tolak bot, kadang-kadang passenger pun kena tolak bot kerana muaranya cetek, jadi masalah tersebut juga kita telah utarakan kepada Yang Berhormat Menteri Air Tanah dan Sumber Asli sekarang. Dan dimaklumkan kepada kita bahawa Sewerage Treatment Plant ataupun STP untuk Pulau Perhentian sebanyak RM55 juta diluluskan untuk ditenderkan pada tahun ini. Begitu jugak STP untuk Pulau Redang diluluskan untuk ditenderkan dalam masa yang terdekat. Jadi sekadar itulah, ucapan ringkas saya Yang Berhormat Speaker. Terima kasih. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Wa’alaikumussalam. Terima kasih pada Yang Berhormat Kuala Berang, sekarang saya jemput Wakil Wakaf Mempelam. Sila.

Wan Sukairi bin AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil ‘alamin. Assalatu wassalamu’ala Rasululillah wa’ala alihi wasabihi ajmain amma ba’d. Yang Berbahagia Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, rakan-rakan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Yang Berhormat Ketua-ketua Jabatan dan seluruh Pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulillah, pertama saya syukur kepada Allah di atas kesempatan untuk melakukan penggulungan di dalam Dewan yang mulia ini. Pertamanya, saya suka untuk menjujung kasih dan merafak sembah di atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Di dalam ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, sewaktu merasmikan Sidang DUN kali ini, baginda telahpun menyebut dua perkara di dalam titahnya yang disentuh langsung dengan portfolio saya ketuai. Yang pertamanya, berkenaan dengan pencapaian atlet-atlet sukan daripada Negeri Terengganu. Alhamdulillah, sepanjang tahun 2018 menyaksikan Sukan Terengganu dipenuhi dengan warna-warni kejayaan sama ada di peringkat Kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Alhamdulillah, juga di peringkat Kebangsaan misi Win Back Mission 2018 telahpun berjaya kita laksanakan dengan sempurna apabila Terengganu berjaya mengembalikan semula kejuaraan ke Negeri Terengganu Darul Iman. Alhamdulillah. Dan dua atlet kita iaitulah Saudari Azreen Nabila binti Alias yang telahpun mendapat Anugerah Olahragawati Terbaik dalam SUKMA di Perak baru-baru ini. Dan yang keduanya, Saudari Nur Aisyah binti Mohd Zubir yang telahpun memperolehi pingat terbanyak untuk Terengganu iaitulah sebanyak 7 Emas. Tahniah kepada kedua-dua atlet ini. Dan selain daripada itu juga, sukan bola sepak juga menyaksikan kegemilangan Sukan Bola Sepak pada tahun 2018 dan dalam Anugerah Sukan Terengganu yang diadakan baru-baru ini, kita telahpun memberikan anugerah khas kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu yang telahpun berjaya meletakkan Sukan Bola Sepak pada tahun 2018 di tempat yang paling cemerlang dalam sejarah. Alhamdulillah.

Selain daripada itu juga, di peringkat antarabangsa menyaksikan atlet-atlet daripada Negeri Terengganu seperti Saudara Nafiizuan Adnan daripada Sukan Squash dan juga Alia Sazana Azahari daripada Sukan Menembak telahpun berjaya memenangi pingat di dalam Sukan Komanwel yang diadakan di Australia pada April 2018 yang lalu. Begitu juga dalam sukan Asia yang diadakan di Jakarta, Palembang, Indonesia, juga menyaksikan Atlet-atlet Terengganu telahpun dilibatkan dalam jumlah yang agak besar iaitulah seramai 36 orang atlet, lima jurulatih dan dua orang pegawai daripada Terengganu. Dan daripada 19 jenis sukan sebanyak 3 Pingat Emas, 3 Perak Dan 3 Gangsa telahpun disumbangkan oleh atlet-atlet daripada Negeri Terengganu Darul Iman. Dan insya-Allah kita mengharapkan agar sukan akan terus berada di persada yang membanggakan untuk Negeri Terengganu Darul Iman ini dan bagi meneruskan penguasaan sukan di Terengganu ini, Kerajaan telahpun bersetuju insya-Allah pada September 2019 untuk melaksanakan SUTERA 2019 ataupun Sukan Terengganu 2019, yang mana dalam Sukan SUTERA 2019 ini, pertandingan yang diadakan di peringkat daerah-daerah akan berlangsung dan kita mengharapkan agar ianya akan menjadi satu platform untuk melahirkan lebih ramai lagi atlet-atlet daripada Terengganu untuk negeri, untuk negara seterusnya di peringkat antarabangsa insya-Allah. Dan alhamdulillah atlet-atlet kita juga turut menempatkan diri mereka di persada antarabangsa contoh, Saudara Azizulhasni Awang yang masih lagi berjaya mencapai kegemilangan di dalam Sukan Berbasikal begitu juga dengan Saudari Siti Rahmah Mohd Nasir daripada Sukan Silat yang baru-baru ini telahpun muncul sebagai juara dalam memenangi pingat emas kali keempat berturut-turut pada Kejohanan Pencak Silat Dunia Yang Kelapan Belas yang diadakan di Singapura baru-baru ini. Dan insya-Allah mudah-mudahan perkembangan sukan di Terengganu ini, akan senantiasa berada di peringkat yang membanggakan semua, insya-allah.

Seterusnya, yang kedua yang juga disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan berkenaan dengan peruntukan yang telahpun disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan kepada Negeri Terengganu. Alhamdulillah, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telahpun memperuntukkan sebanyak RM60.07 juta untuk pembangunan Belia Dan Sukan Negeri Terengganu dan daripada jumlah tersebut sebanyak lima projek-projek yang besar telahpun diluluskan. Di antaranya, Projek Menaiktaraf Dewan Besar, Asrama Dan Padang Kompleks Belia dan Sukan di Pasir Panjang. Yang keduanya, Pembinaan Velodrom Berbasikal di Dungun. Yang ketiga, Pembinaan Kompleks Sukan di Hulu Terengganu. Yang keempat, Pembinaan Kompleks Sukan Mini Jabi. Dan, Pembinaan Pusat Reaksi Air di Pulau Duyong. Dan alhamdulillah, juga sewaktu kunjungan Yang Berhormat Menteri Belia Dan Sukan ke Terengganu baru-baru ini, dalam kesempatan bersama-sama dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Menteri telahpun bersetuju agar satu lagi Kompleks Sukan diadakan di Negeri Terengganu iaitulah di kawasan Marang dengan mengambil sebahagian daripada peruntukan yang telahpun diluluskan untuk 2019 ini. Insya-Allah.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, dalam perbahasan yang telahpun berlangsung dua hari yang lepas, termasuk hari ini, beberapa orang Ahli Yang Berhormat telah menyentuh beberapa perkara tentang portfolio saya di antaranya, Yang Berhormat daripada Tepoh yang telah menyentuh tentang tiga isu. Yang pertamanya berkenaan dengan pembaikan Stadium Sultan Mizan yang telahpun dijawab oleh kekanda saya daripada Kuala Berang. Dan kita juga sebenarnya mengharapkan agar isu pembaikan Stadium Sultan Mizan ini akan berlangsung dengan kadar yang segera kerana beberapa projek ataupun beberapa kemudahan sukan yang sepatutnya kita boleh guna tetapi terbantut. Sebagai satu contoh apabila kita ingin untuk menjadikan Sukan Squash sebagai sukan utama negeri kita, sebaris dengan Sukan Berbasikal, Bola Sepak dan sebagainya, kita mempunyai masalah dari sudut fasiliti. Dan di Stadium Sultan Mizan itu sendiri sebenarnya telah ada lapan gelanggang squash tetapi ianya rosak seperti yang kita semua tahu dan bila mana cadangan untuk dilakukan bagi pembaikian kompleks ataupun pembaikian gelanggang-gelanggang ini, kita tersekat kerana kalau dilakukan pembaikian juga, ianya tidak akan menyelesaikan masalah kerana yang perlu dibaiki adalah bumbung, kalau kita baiki juga gelanggang itu, bila mari hujan gelanggang itu akan rosak jugak itu ertinya bumbung adalah satu isu yang perlu selesaikan terlebih dahulu. Jadi kerana itu kita terpaksa fikir cara lain bagaimana untuk kita memajukan Sukan Squash ini.

Selain daripada itu juga, isu Yang Berhormat daripada Yang Berhormat ADUN Wanita untuk menyentuh tentang isu fasiliti untuk wanita bersukan. Dan untuk makluman ADUN Wanita, pihak Kerajaan telahpun bersetuju untuk menaiktaraf dewan-dewan ataupun taman rekreasi melalui PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) untuk memberikan keselesaan kepada golongan wanita beriadah. Dan kita juga telah mengambil beberapa inisiatif bagi program ini, di antaranya adalah melalui pengasingan Litar Cergas antara lelaki dan wanita yang telahpun dilakukan di sebahagiannya di Taman Hiliran Kuala Terengganu. Di antaranya lagi kita juga telah menerima cadangan untuk menaiktaraf dua Dewan Sivik di Seberang Takir dan juga di Padang Nenas supaya sesuai untuk kegunaan kaum Hawa. Begitu juga cadangan untuk pengasingan masa di antara lelaki dan wanita bagi penggunaan dewan juga kita telahpun lakukan untuk memastikan kedua-dua antara lelaki dan wanita ini bebas dan selesa untuk melakukan aktiviti riadah. Dan di samping itu juga, pihak Majlis Perbandaran Dungun juga telah menyediakan beberapa tempat khas untuk wanita beriadah termasuk di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun sendiri, di Arena Merdeka Dungun, Taman Rekreasi Seri Paka, Taman Tasik Bukit Besi dan Taman Tasik Tanjung Sura dan juga Taman Rekreasi Keluarga di Sura Jeti. Dan Majlis Daerah Hulu Terengganu juga telah mengeluarkan jadual penggunaan Dewan Sivik di Kuala Berang di antara lelaki dan wanita. Jadi setakat ini itulah usaha yang telahpun kita lakukan dan insya-Allah kita mengharapkan agar apabila keadaan ataupun kedudukan kewangan kita baik maka lebih banyak lagi pengasingan ataupun lebih banyak lagi kemudahan-kemudahan yang kita berjaya wujudkan untuk memastikan wanita juga boleh beriadah sama sepertimana kalangan kaum Adam.

Seterusnya selain daripada itu juga Wakil Batu Burok juga menyentuh tentang isu pendidikan politik untuk belia Terengganu. Sepertimana kita semua tahu bahawa Kerajaan Pusat telahpun menyatakan bahawa satu cadangan untuk meminda had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 telahpun diutarakan dan sekarang ini berada di peringkat akhir cadangan dan hanya menunggu masa sahaja untuk dibentang di Parlimen bagi mendapat kelulusan daripada Parlimen. Sekiranya Parlimen meluluskan ataupun setuju dengan cadangan ini maka kemungkinan PRU Ke-15 ini, had umur pengundi adalah mereka yang berumur seawal 18 tahun dan sudah tentulah kita tidak mahu Kerajaan yang akan dipilih oleh rakyat nanti adalah Kerajaan yang tidak matang. Maka kerana itu Wakil daripada Batu Burok menyentuh tentang isu tentang pendidikan politik untuk memberikan kesedaran kepada para belia kita supaya mereka yang berumur 18 tahun itu sebenarnya telah bersedia untuk membuat pilihan yang sebenar siapa yang akan menguruskan isu-isu ataupun negeri dan negara Malaysia yang tercinta ini. Dan untuk itu alhamdulillah juga, Sidang DUN Terengganu dalam Sidang Bajet baru-baru ini kita telahpun meluluskan sejumlah peruntukan untuk membina ataupun untuk melaksanakan Program DUN Belia dan ia telahpun diluluskan dan insya-Allah kita hanya menunggu masa sahaja untuk kita melaksanakan Program DUN Belia ini yang kita harap dengan pelantikan ADUN-ADUN Belia yang mewakili golongan belia di semua 32 daerah ini akan menjadi satu platform kepada kita untuk memberikan pendidikan politik kepada rakyat terutama mereka yang berumur seawal 15, 16, 17, 18 dan begitulah seterusnya supaya kelak apabila mereka boleh mengundi maka mereka mampu untuk membuat pilihan yang terbaik dalam Pilihan Raya Umum Yang Ke-15 nanti insya-Allah.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, sekadar itu sahaja perbahasaan yang saya boleh lakukan dan saya juga sebenarnya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan daripada UMNO, Barisan Nasional yang telahpun masing-masing menyatakan komitmen di atas isu perpaduan ummah ini. Dan sememangnya kita, PAS ini sangat menyambut baik isu tersebut dan bagi membuktikan keseriusan kita dalam perpaduan ummah ini untuk PRK di Rantau, Negeri Sembilan ini di Terengganu ini telahpun menggerakkan jentera kita dengan bersungguh-sungguh, hari ini pun ada beberapa mesyuarat yang diadakan oleh di peringkat Jawatankuasa Pilihan Raya PAS Terengganu dan hari ini juga Wakil-wakil Rakyat daripada PAS daripada Kerajaan telah mula menerima pelbagai pesanan whatsapp untuk minta derma minta itu, minta inilah untuk menampung kos bagi kempen yang akan kita lakukan di Rantau bagi memenangkan calon UMNO dalam Pilihan Raya Kecil di Rantau nanti insya-Allah. Jadi kita PAS ini dang kita kalau kita bersaing kita bersaing sungguh deh, kalau kita wat kerja kita wat kerja sungguh, itu style kita orang PAS ini. Jadi insya-Allah mudah-mudahan ianya bakal memberikan manfaat dan juga memberikan kemajuan kepada umat Islam kita kepada perpaduan Melayu untuk kebaikan negeri dan negara, insya-Allah.

Yang Berhormat Yang di-Pertua itu sahaja. Sekian. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Wa’alaikumusalam warahmatullah. Terima kasih kepada Wakil Wakaf Mempelam. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Dewan sekalian, saya tangguhkan sementara Dewan ini kita sambung semula pukul 4.00 petang.

DEWAN DITANGGUH PADA PUKUL 3.40 PETANG.

PUKUL 4.00 PETANG

Yang di-Pertua

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Mesyuarat disambung semula. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang saya persilakan Yang Berhormat Wakil Cukai membuat penggulungan bagi pihak Kerajaan.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil ‘alamin. Assalatu wassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya mengambil kesempatan pada petang ini merakamkan, merafak sembah dan menjunjung kasih di atas Titah Baginda Sultan dan insya-Allah saya akan merealisasikan nasihat dan tunjuk ajar apa yang dititahkan oleh Baginda Tuanku.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, sepanjang perbahasan dalam Sidang Dewan pada kali ini, hanya satu persoalan sahaja yang ditimbulkan oleh wakil daripada Sura yang menyatakan kenapa berlaku kelewatan dalam pembayaran Tabung Darul Iman.

Sesungguhnya bagi pihak diri saya, dan juga bagi pihak Kerajaan, saya memohon maaf kerana pada awal tahun ataupun akhir tahun bulan 11, bulan 12, nak masuk pada awal tahun ini, berlaku kekangan kewangan di peringkat Tabung Darul Iman yang menyebabkan banyak perkara tidak dapat dijalankan. Banyak yang telah kita lulus tak dapat kita tunaikan kerana masalah kewangan. Tetapi alhamdulillah saya yakin bermula pada bulan 4 ni, saya yakin semuanya akan dapat diselesaikan. Dan kekangan kewangan ini ialah akibat daripada kerana Kerajaan lambat menerima wang royalti minyak daripada Kerajaan Pusat yang menyebabkan Kerajaan tidak dapat memberi peruntukan kepada Tabung Darul Iman. Itu masalah yang paling besar sekali.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, oleh kerana masalah ini sangat besar, maka pada Sidang kali ini, saya mengambil kesempatan untuk memberitahu kepada seluruh Yang Berhormat, Ahli-ahli Dewan dan juga seluruh yang hadir. Setakat ini Tabung Darul Iman berbelanja hampir RM800,000 setiap bulan bagi menyelesaikan penyakit-penyakit kronik, bagi menyelesaikan orang-orang yang accident, nak beli besi dengan segera, bagi menyelesaikan pampers, susu dan seumpamanya. RM800,000 sebulan suatu angka yang sangat besar ditanggung oleh Tabung Darul Iman. Dan seluruh rakyat Negeri Terengganu hari ini, bila dia tahu bahawa agak senang sedikit permohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, maka mereka berduyun-duyun hadir ke Tabung Darul Iman. Dan insya-Allah sebagai sebuah parti, sebagai sebuah Kerajaan yang telah memberitahu kepada rakyat bahawa Kerajaan Parti Islam Semalaysia PAS ini adalah Kerajaan berkebajikan, maka insya-Allah kita akan menjaga kebajikan rakyat.

Yang Berhormat, boleh celah tak? Boleh celah?

Yang di-Pertua

Pohon laluan ya? Sila.

Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Untuk Tabung Darul Iman ini, selain daripada sumber Kerajaan Negeri, kita ada juga usaha dapatkan sumber daripada kakitangan Kerajaan dan juga sumber daripada derma-derma syarikat-syarikat Kerajaan Negeri jadi sejauh manakah sambutan, potongan gaji dan juga derma daripada sumber-sumber luar selain daripada dana Kerajaan? Terima Kasih.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih kepada Jertih. Setakat ini potongan gaji; yang pertama daripada Yang Berhormat EXCO, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan. Dan yang terbaru ni pula ialah daripada jabatan-jabatan Kerajaan dan hari ini saya dah minta supaya pegawai saya di Tabung Darul Iman supaya agresifkan lagi minta sumbangan-sumbangan termasuklah juga daripada GLC yang telah memberi bantuan kepada kita kerana setakat ini Kerajaan hanya memperuntukkan RM5juta sahaja setahun sedangkan belanjanya hampir RM8 juta. Dan insya-Allah pada tahun ini saya sudah berjanji dengan Tabung Darul Iman untuk melipatkaligandakan lagi untuk mencari seberapa banyak kewangan untuk memastikan Tabung Darul Iman ini sentiasa bersedia untuk berdepan dengan rakyat kita di Negeri Terengganu yang berada di dalam kesusahan.

Terima kasih kepada semua yang membantu Darul Iman dan saya mengharapkan bantuan kita itu mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan akan membawa kita kepada Syurga Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Yang di-Pertua

Insya-Allah.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Saya juga nak ambil kesempatan di atas perpaduan ummah yang telah disebut oleh sahabat saya, besok satu rombongan besar daripada Kemaman, saya dah arah askar-askar saya untuk pergi ke Rantau bagi memastikan Pilihan Raya pada kali ini, UMNO Barisan Nasional sekali lagi diberikan kemenangan. Boleh ke dok boleh? Terima kasih.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya ingin mencelah.

Yang di-Pertua

Sudah dah.

Berkaitan dengan soalan Tabung Darul Iman.

Yang di-Pertua

Dah berhenti dah Yang Berhormat.

Saya dah bangun dah tadi. Ingat dia tak nak berhenti lagi lagi.

Yang di-Pertua

Dah bagi salam dah. Lepas nilah, lepas ni. Terima kasih kepada Wakil Cukai. Saya jemput Wakil Alur Limbat bagi pihak Kerajaan untuk menggulung.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan semua yang hadir pada hari ini, Pegawai-pegawai Kerajaan dan Pemerhati.

Setelah saya meneliti persoalan apa yang dibangkitkan sama ada termasuk Soalan Lisan dan Bertulis serta soalan-soalan tambahan, saya sebagai Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat yang paling banyak sekali ditimbulkan, jadi saya ucap terima kasih dan rasa terharu jugalah kali ini. Pada saya dah masuk Penggal Yang Kedua, jarang sekali isu pelancongan ditimbulkan sebanyak ini. Menandakan bahawa harapan yang tertinggi khususnya kepada ekonomi rakyat, perkara yang berkait dengan pelancongan ini. Ahli-ahli Yang Berhormat (ADUN) yang bertanya adalah daripada Air Putih, Kemasik, Kuala Besut, Bandar, Sura, Rantau Abang, Telemong, Batu Rakit, Kijal, ADUN Wanita, Bukit Besi, Batu Burok, Kuala Besut dan mungkin ada lagi yang saya tak sempat untuk catat. Jadi saya juga tidak berhajat untuk menjawab semua soalan kerana sebenarnya sebahagian besar memberikan pandangan dan insya-Allah pihak Kerajaan akan meneliti segala perkara yang ditimbulkan oleh pihak Yang Berhormat sebelum daripada ini.

Cuma ada beberapa perkara yang saya nak sebut secara ringkas khususnya yang berkait dengan Tasik Kenyir. Saya ingin memberikan respon sedikit bagi pihak Kerajaan. Kerajaan hari ini mengucapkan terima kasih atas idea dan cadangan pembangunan Tasik Kenyir oleh Kerajaan, Wakil Kerajaan yang terdahulu dan tidak berhajat untuk memberhentikan pembangunannya, malah telah menambahbaik dengan merangka satu pembangunan yang terancang dan berstruktur dengan menjadikan kawasan sekitar Tasik Kenyir sebagai kawasan Geopark dan menjadikan sebahagiannya sebagai Taman Negeri bagi membolehkan ianya dijaga dengan lebih bersistematik. Untuk makluman, Taman Negeri Kenyir, yang pertama Kawasan Lawit Cendana sebanyak 15,000 hektar. Dan yang kedua, Kawasan Perlindungan Hidupan Liar sebanyak 15,000 hektar.

Kemudian saya ingin menjawab beberapa soalan yang ditimbulkan oleh sahabat saya daripada Kuala Besut, dari segi keluhan ataupun keluhanlah pengusaha resort dari segi kedatangan pelancong yang dikatakan berkuranganlah berbanding dengan tahun sebelumnya. Sebenarnya adalah tidak wajar ataupun sebenarnya sukar untuk kita menilai apabila baru tiga suku pertama, tiga bulan pertama kedatangan pengunjung kerana berbeza-beza kedatangan pengunjung ni sebagai contohnya, saya ada menghubungi dua minggu yang lalu salah seorang pengusaha daripada pulaulah, mereka menyatakan tahun lepas bulan empat tiada orang, bulan tiga ramai, tapi tahun ini bulan tiga kurang, bulan empat mereka oleh kerana mereka mengadakan tempahan online mereka dapat maklumat bulan satu, bulan dua, bulan tiga sehinggalah Oktober tahun ini, bulan April sahaja, peningkatan hampir 50% berbanding dengan tahun yang lalu. Ini yang perkara sepatutnya kita ambil caknalah dan pulau ini mula dibuka kebanyakannya bermula daripada awal bulan tiga, jadi berilah masa kepada pengusaha-pengusaha chalet di pulau-pulau dan insya-Allah saya yakin, tahun ni kedatangan pengunjung lebih ramai daripada tahun yang sebelumnya.

Saya ambil satu contoh di darat di TTI (Taman Tamadun Islam) sebagai satu indikator mudahlah tetapi walaupun kita tidak boleh mengambil kira ke semua tempat, sebagai contoh tahun 2017 - 2018 kedatangan pengunjung di TTI kalau 2017 hanya 19,784, 2018 - 23,915 ini daripada Januari hingga Mac tetapi pada tahun 2019 kedatangan pengunjung sudah 28,000. Tahun lepas waktu ini tiga bulan 23,000, tahun yang sebelumnya 19,000 sekarang ini sudah melebihi hampir 10,000 berbanding dengan tahun 2017 maknanya peningkatan itu ada dan saya yakin di sebelah pulau juga perkara yang sama insya-Allah akan berlaku, kalau tidak berlaku bulan tiga ini ataupun bulan tiga yang lalu bulan empat ini, insya-Allah akan datang pelancong yang kita haraplah dan kita doa berlaku demikian.

Kemudian ada persoalan sama ada motto atau logo ‘Beautiful Terengganu’. Insya-Allah oleh kerana motto ini telah terkenal di seluruh dunia, kita tidak berhajat lagi untuk menukar ‘Beautiful Terengganu’ ini kita kekal dahulu sehinggalah satu masa yang kita fikir dah sudah establish boleh ditukar kepada logo ataupun motto yang lain. Berkenaan dengan ECTC atau pun East Coast Tourism Corridor, pihak Kerajaan Negeri baru sahaja meluluskan penubuhannya, Secretariat East Coast Tourism Corridor bagi peringkat Negeri Terengganu dalam Mesyuarat MMKN bulan lepas. Sebagaimana yang saya jawab sebelum ini ECTC ini merupakan satu inisiatif bagi mewujudkan kerjasama antara empat negeri di Pantai Timur, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor dengan memfokuskan untuk memantapkan sektor pelancongan di negeri-ngeri ini, kerana negeri di sebelah timur jauh daripada KLIA yang dekatnya Pahang. Pahang kedatangan pelancongnya 11 juta setahun pada tahun lepas. Tahun 2017 di mana lebih kepada Cameron Highland dan juga Genting Highland dan mereka dekat dengan KLIA begitu juga Johor. Johor dia ada highway yang memang dekatlah dan pengunjung ramai di sana tapi cabarannya terletak di Terengganu dan juga Kelantan tapi kita ada pelbagai persamaanlah empat buah negeri ini dan kita mewujudkan ECTC bagi membantu mempromosikan sektor pelancongan di empat buah negeri ini. Saya ringkaskan insya-Allah Inbound Industry Food Camp Peringkat Negeri Terengganu di bawah ECTC akan diadakan pada 23 hingga 25 April pada tahun 2019 di Primula Beach Hotel yang akan datang ini. Dan lain-lain perancangan ada dengan saya ini, saya tidak berhajat untuk membentangkan kepada rakan-rakan dalam Dewan Undangan Negeri ini tapi perancangannya sangat baik untuk ECTC.

Kemudian berkenaan dengan halatuju TD1303, operasi TD1303 berjalan dengan lancarlah sekarang ini untuk maklumat Dewan, mengikut perancangan asal penubuhannya 21 Fix Desk yang disediakan, telah disewa dan digunakan, insya Allah, Fix Desk ini kita akan tambah lagi, kita akan buat pembangunan baru di sebelah, kalau kita masuk sebelah kanan ni, kanak kiri atas tingkat satu, kita akan tambah lagi Fix Desk. Dan kita akan renovate dengan izin, renovate lagi bangunan TD untuk kita bagi sewa bagi tingkat yang kedua. Fix Desk ini disediakan telah disewa sebanyak 21 dan digunakan oleh Usahawan Digital Rakyat Terengganu. Empat buah ruang pejabat (private room office) hanya ada empat sahaja setakat ini, sebenarnya dah lama dah penuh, permintaan sangat tinggi, juga telah disewa sepenuhnya oleh usahawan tempatan. TD ini maksudnya Terengganu Digital, 1303 bermaksud penemuan Batu Bersurat. TD ini juga telah berjaya melahirkan satu syarikat start up yang kini mempunyai 25 orang pekerja, kita mulakan dengan satu syarikat insya-Allah kami akan berjuang untuk memastikan setahun ada syarikat-syarikat baru, syarikat IT yang akan ataupun syarikat yang berasaskan daripada TD1303, insya-Allah. Walaupun U-TENT telah dibatalkan sebagaimana yang telah ditanya, tetapi TD1303 telah diletakkan di bawah Terengganu TI lah semua orang tahu TI, dan sebuah anak syarikat iaitu TD1303 SDN. BHD telah ditubuhkan untuk menguruskan operasi TD1303.

Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan agenda penubuhan untuk TD1303 dan kini Kerajaan Negeri berusaha untuk melengkapkan ekosistem yang perlu bagi merancakkan perkembangan Ekonomi Digital di Terengganu. TD1303 ini merupakan pejabat ataupun ruang Home Working Space yang semakin hari semakin mendapat tempat khususnya kepada generasi muda. Jadi saya juga mencadangkan supaya semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan juga Pegawai-gegawai Kerajaan supaya melawat TD1303 dan kami beroperasi 24 jam sehari selama 7 hari seminggu, maksudnya adalah kaedah dia, bila nak pergi daftar, bila nak masuk, bila-bila masa kita boleh pergi ke sana dengan memberitahu kepada pegawai yang ada di sana.

Jadi itulah sedikit sebenarnya walaupun banyak perkara yang ditimbulkan pada saya, lebih banyak kepada cadangan kepada yang sangat baik dan insya-Allah pihak Kerajaan akan mengambil perhatian tentang perkara yang ditimbulkan. Akhirnya saya mengucap berbanyak-banyak ribuan terima kasihlah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah menimbulkan beberapa perkara berkait dengan portfolio saya dalam perbahasan pada kali ini. Wallahu a'lam. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Alur Limbat. Seterusnya saya jemput Wakil Ladang untuk membuat penggulungan bagi pihak Kerajaan.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat-Yang Berhormat dan juga Pegawai dan Pemerhati yang hadir. Saya, insya-Allah akan tidak mengambil masa yang panjang kerana menghormati gesaan Yang Berhormat Tuan di-Pertua yang nak habis hari ini juga, jadi pendek-pendek doh ah. Tapi kalau ada soalan sedia menjawab.

Ada beberapa orang Yang Berhormat membangkitkan tentang isu yang berkenaan dengan industri, contohnya Kemasik, Rantau Abang , Bandar, Batu Rakit, Kijal dan ADUN Wanita turut menyinggung atau turut mengambil bahagian membicarakan soal industri. Saya nak mulakan tentang promosi pelaburan. Tengahari tadi pun ada wakil pelabur daripada Jepun datang berjumpa dengan saya. Besok, tengahari pukul 1.30 pun ada yang buat appointment untuk jumpa daripada Korea dan hampir setiap hari saya menerima kunjungan pelabur-pelabur yang ingin tahu terutamanya tentang pelaburan berkenaan dengan silika. Yang datang tu berbagai, ada yang memang serius, ada yang broker, ada yang nak tanya-tanya khabar. Jadi, selalunya apabila datang saya tanya, apa yang saya boleh bantu. Nak mende sebenarnya kabor spesifik nak mende? Saya terus, direct, mari ni tujuannya nak mende. Saya tanya begitu sebab saya kata kalau saya tahu jelas boleh kita bantu dengan jelas. Dia dokdang musing-musing, dok doh lening. Direct to the point. Kemudian, saya juga diminta untuk meninjau di luar negara. Saya telah mengikuti program MIDA ke Tokyo, ke Osaka dan juga ke Seoul pada tahun lepas. Tahun ini MIDA takmboh ajak. Dia nak gi USA tapi dia kata tahun ini takmboh ajak negeri-negeri pergi, kementerian jer pergi. Kemudian, saya juga baru balik daripada Taiwan. Dalam masa sebulan lebih, saya pergi dua kali ke Taiwan, ke Kaohsiung dan juga ke Taipei untuk berjumpa dengan pelabur-pelabur yang kita fikir serius untuk datang ke Terengganu. Kita belajar daripada pengalaman orang-orang lama dulu. Dia kata kita kena mesra dengan pelabur ini, sebab ada kes dulu mereka datang ke Terengganu, kemudian tidak buat follow-up. Dia pergi ke Singapura, selepas satu minggu dia balik, satu rombongan daripada Singapura pergi dan akhirnya dia melabur di Singapura. Maknanya kita kena sangat mesra dengan mereka. Kalau tidak dia kata kenapa saya kena mari ke Terengganu. Selalu tanya why pasal apa saya kena mari melabur di Terengganu. Dia ada pilihan lain.

Baru-baru ini kita kalah ke Sabah. Mereka ada dua pilihan. Satu ke Terengganu, satu ke Sabah dan akhirnya mereka memilih untuk ke Sabah dengan alasan mereka sendiri. Jadi, saya sebut itu sebab nak menunjukkan bahawa dalam melayani karenah pelabur-pelabur ini memang kita mesra dan kita bersungguh, dan kita yakinkan mereka bahawa Terengganu adalah satu destinasi yang baik untuk mereka datang melabur terutamanya dalam industri silika. Jadi, berkenaan silika ini saya nak sebut sikitlah. Pertamanya, kita telah wujudkan satu masterplan untuk TSV, Terengganu Silica Valley dan masterplan ini telah dibentangkan kepada kita dan kita pada asalnya bersetuju untuk menerima pembentangan itu dan cadangan-cadangan yang dikemukakan. Dan, saya juga diberitahu bahawa players silika ini ada empat giant yang besar. Satunya di Taiwan, satu di Tokyo, satu di India dan satu lagi di China. Ini mereka besar, dan ini kita sedang mencuba untuk paling-paling kurangnya kalau dapat satu pun alhamdulillah sebab pelaburan mereka besar. Yang saya pergi ke Taiwan itu adalah untuk menjemput mereka melabur dan mereka bercadang untuk melabur bukan dalam glass tapi nak buat macam sama dulu macam, fabric dia panggil, fabric fibre, nak buat baju silika. Memang sungguh rupanya sebab benang silika, Dato’ Ahmad Said takdok, dia duduk sebut dulu silika dia pakai seluar silika dia kata. Betul ke dok, dok tahu.

...[Kedengaran ada ahli yang menyebut seluar dalam] ....

Dok tahulah hok dalam tapi memang ada sebenarnya barang itu dan dia bercadang untuk datang melabur dalam bidang itu dan sekarang ini dia mengawal 18% daripada market di Taipei sekarang ini ataupun di Taiwan. Insya-Allah dijangka dia akan datang. Cuma, pelaburan dalam bidang silika ini dia bukan cepat, bukan hari ini, sebulan lagi dia akan buat. Yang saya pergi Taiwan itu dia kata kami pergi ini bukan seorang, saya pergi ini dengan rombongan termasuk TI, Petronas, SEDC, semua yang berkaitan dengan pelaburan ini kita bawa bersama. Dan dia kata kalau saya nak melabur saya akan makan masa tiga tahun. Plan hari ini tiga tahun lagi baru boleh pakai. Jadi sedang moleklah sebab gas kita pun akan datang lebih kurang tiga tahun dari sekarang, dan untuk makluman, kita telah tandatangani MOU dengan Petronas untuk membawa gas ke TSV ini daripada Paka dan saya dapat tahu bahawa dua-tiga hari yang lepas, apa ini, EPU juga telah bersetuju untuk menyokong permohonan kita ini. Dan insya-Allah, saya rasa paip gas daripada Paka, daripada Santong ke TSV ini akan dapat kita mulakan dengan segera. Insya-Allah pembinaannya.

Cuma, kita ada dasar yang jelas berkenaan dengan silika ini bahawa yang nak datang ini mesti melabur untuk membuat factory atau kilang-kilang yang mengeluarkan bahan-bahan yang dikatakan end product atau finish product bukan raw material. Banyak sangat pertanyaan untuk membawa pasir kita keluar begitu sahaja. Dia kata, no, tak boleh. Nak, mari melabur untuk buat kilang mengeluarkan bahan-bahan yang finish product dan alhamdulillah ada mereka itu yang memang berhasrat untuk datang melabur di TSV Group. Insya-Allahlah tapi kita kena beri masa panjang sikitlah untuk mereka datang.

Dan tentang peluang pekerjaan, kita memberitahu, berjanji dengan rakyat bahawa kita mewujudkan lebih kurang 20,000 peluang pekerjaan dalam masa empat tahun ini. Sekarang ini, bagaimana? Sekarang ini daripada sumber yang kita dapati, sehingga Februari 2019, sehingga bulan lepas, kita dah dapat wujudkan 7,057 peluang pekerjaan, dan insya-Allah pada tahun 2022 hingga 2024, kita jangka peluang pekerjaan akan bertambah sebanyak 18,729 orang. Jadi target kita kalau betul unjuran ini betul akan sampai target, insya-Allah. Itu dalam bidang industri sahaja .....

Tuan Yang di-Pertua, mohon mencelah. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada EXCO Ladang, Wakil Ladang, daripada 7,000 itu, peluang pekerjaan yang telah diwujudkan, di mana paling ramai ditempatkan pekerja baru itu? Terima kasih.

Ya, kita dapati dia ada enam sumber yang kita dapat iaitu daripada Aktif Malaysia Sdn. Bhd - 500 orang, Madura Industry - 44 orang, Wood Base Industries - 115 orang, Eastern Steel Kemaman itu dia tambah lagi expansion dia lebih kurang 800 orang dan Compass Industries Sdn. Bhd. - 200 orang, daripada Jobs Malaysia kita dapat 5,378 orang. Kemudian, seterusnya itulah 18,000 itu dijangka daripada tahun 2022 hingga 2024 besarnya ialah di Silika kita, di TSV. Ni nak tahu apa mende lagi ni? Banyak ni tapi kabor belaka dah itu kot. Yang lain-lain itu kita juga ada 26 sebenarnya kawasan industri, 26 kawasan industri yang terbaru ialah di Arun, Dungun. Tok Arun dia panggil. Tok A.R.U.N ...(mengeja)... di Dungun. Dan keluasan kawasan- kawasan industri ini ialah 4,500 hektar jumlahnya dan campur dengan TSV 4,000 hektar, itu jumlah kawasan industri. Selain daripada silika ini kita juga menerima pertanyaan untuk paling kurang ada dua syarikat besar yang akan melabur di kawasan Biopolimer Kerteh, Paka, dan insya-Allah mereka sedang menunggu kita lulus tanah dia nak buat dia kata, kita tunggulah. Saya kira itu sahaja saya nak sebut melainkan ada soalan, saya duduk dulu kalau ada saya bangun semula. Terima kasih. Allahhu wa’alam. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Wa’alaikummussalam warahmatullah. Terima kasih Wakil Ladang. Seterusnya saya jemput Wakil Jabi untuk membuat penggulungan.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan Pemerhati yang dihormati sekalian.

Pertama sekali saya juga mengambil kesempatan merafak sembah, menjunjung kasih di atas Titah ucapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan terutamanya di atas perhatian yang diberikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada sektor pertanian di Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, pertama sekali saya sentuh berkenaan dengan isu yang dibangkitkan oleh rakan saya daripada Setiu Yang Berhormat Batu Rakit berkenaan dengan bantuan untuk nelayan. Kebajikan masyarakat nelayan memang menjadi antara agenda utama Kerajaan Negeri. Terutamanya bila dalam keadaan musim tengkujuh, nelayan tidak memiliki pendapatan apabila mereka tidak dapat turun ke laut. Kerajaan Negeri telah menerima permohonan Bantuan One-Off daripada Persatuan Nelayan Terengganu atau ringkasnya PENENTU yang mewakili seramai 6,498 orang nelayan berdaftar. Daripada 6,498 orang nelayan berdaftar, 3,879 merupakan penerima Bantuan Elaun Sara Hidup. Permohonan ini sedang dipertimbangkan sebaiknya oleh Kerajaan Negeri. Berdasarkan kepada kedudukan kewangan semasa dan doakan semoga ada rezeki untuk nelayan kita menjelang musim tengkujuh akan datang insya-Allah.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Buluh Gading menyentuh berkenaan dengan status terkini, Pusat Pemprosesan Susu Kambing di Jenang. Situasi terkini hanya tunggu Cooler Tank, tangki susu yang diimport daripada Turki untuk sampai. Peralatan-peralatan lain pusat pemprosesan ni dibeli daripada China dan semuanya sudah sedia. Dijangkakan pusat pemprosesan ini akan mampu dimanfaatkan oleh seramai 50 orang penternak kambing tenusu kecil-kecilan. Dan mereka dijangkakan mampu membekalkan sekitar 500 liter susu kambing sehari. Dia masih lagi di bawah tahap keupayaan pusat pemprosesan ni kerana kapasitinya mampu memproses sehingga 1,000 liter sehari. Buat masa sekarang ni, operasi secara kecil-kecilan sudah pun berjalan dan insya-Allah apabila Cooler Tank ..... Cooler Tank ni fungsi dia untuk meletakkan susu pada suhu di bawah daripada pada tahap beku tapi susu tu tak beku. Sebab susu apabila beku dia akan jadi butter dia akan jadi macam butterlah. Dan syarikat Tenox yang mengoperasikan pusat pemprosesan susu ni dengan dana sendiri telah membelanjakan RM750,000 yang menggambarkan keseriusan syarikat ni untuk nak menjayakan projek ni yang merupakan projek yang pertama sekali di Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ajil menyentuh berkenaan dengan isu pembangunan yang tidak seimbang. Terutamanya tiga daerah yang agak ketinggalan iaitu Daerah Besut, Daerah Setiu dan juga Daerah Hulu Terengganu. Dalam Dewan yang mulia ni saya nak mengajak kita yang berada di tiga daerah ni mari bersama kita kembangkan ekonomi untuk tiga daerah ni, berasaskan pertanian sesuai dengan realiti sosio ekonomi setempat. Kenyataan yang kita tidak dapat nafikan kita tidak akan mampu bersaing dengan daerah lain seperti Kemaman, dalam sektor industri. Padang tempat kita berlawan ni diistilahkan padang yang tidak sama rata bukannya orang Besut, orang Setiu atau pun orang Hulu tak nak maju tetapi ada faktor geografi terutama dari segi strategik kedudukan, jalan perhubungan, pelabuhan, lapangan terbang, kepadatan penduduk yang memainkan peranan besar dari segi kemajuan. Tapi buat pengubat hati sekurang-kurangnya Daerah Setiu boleh berbangga sebagai daerah yang paling rendah kadar jenayah dan paling aman dalam Negeri Terengganu. Lepas daripada penyatuan ummah ini kita rasa dia akan jadi lebih aman berkali-kali ganda lagi Insya-Allah.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, MIER (Malaysian Institute of Economic Research) telah meletakkan sektor pertanian dan perhutanan adalah potensi penyumbang utama kepada sosio ekonomi rakyat di Negeri Terengganu. Ini adalah fakta dan pembangunan di tiga daerah mesti berpijak di bumi nyata dan bukan dalam bentuk ikut-ikutan. Mari kita bersama meletakkan suatu keyakinan bahawa pertanian ini adalah satu kerjaya dan kita boleh maju dengan sektor pertanian. Bukan setakat sebagai satu sumber rezeki tetapi dia juga sebagai satu jaminan sumber makanan bagi negeri kita. Tanah kita masih luas, tanah terbiar saja ada sekitar 12,000 hektar. Pelbagai peluang dalam bentuk kursus-kursus kemahiran, kemudahan dana disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti bantuan modal tani dan dana-dana daripada Kerajaan Pusat. Antaranya saya maklumkan dalam Dewan ini, bantuan untuk tanaman semula buah-buahan yang memfokuskan kepada tanaman durian dan tanaman lain, ada RM6,000 untuk 1 hektar dalam bentuk insentif. Yang kedua, Kluster Durian kita fokuskan untuk sulam dusun-dusun durian kampung dengan durian klon. Maknanya kita buat cantuman dewasa daripada durian kampung pusaka daripada tok kita, kita cantumkan dengan durian klon supaya walaupun dia durian kampung akhirnya dia buah Durian Musang King. Yang ni Yang Berhormat Telemong tengah buat yang ni. Dan kita juga boleh cantumkan pokok-pokok mempelam yang ada di kampung-kampung dengan buah yang bernilai rendah kita cantumkan supaya semuanya keluar buah dalam bentuk buah Harum Manis. Kita beruntung kerana Pemangku Pengarah Pertanian kita ni dia mari daripada Perlis. Dia ada kepakaran dalam bidang Harum Manis. Di antara insentif yang ditawarkan lagi yang perlu dimanfaatkan insentif tanaman tembikai sehingga RM20,000 - 1 hektar. Insentif untuk Kluster Tanaman Pisang RM20,000 juga. Kluster Tanaman Betik RM20, 000 juga. Kluster Tanaman Kontang RM20,000. Dana-dana ni kita boleh manfaatkan dan kita gabungkan dengan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk rakyat memanfaatkan tanah Kerajaan bagi tanaman kontang dalam bentuk permohonan Lesen Menduduki Sementara.

Saya ucap tahniah dan terima kasih di atas hasrat Yang Berhormat ADUN Ajil untuk menjadikan DUN Ajil sebagai Pusat Penternakan Rusa yang terbesar di Negeri Terengganu. Penternakan rusa ni dia mampu menghasilkan pelbagai produk yang menguntungkan di antaranya produk yang boleh dijual tanduk lembut. Yang kedua, tanduk keras. Rusa ada tanduk lembut dan tanduk keras. Kulit rusa, daging rusa dan juga ekor rusa, yang ni boleh jual belaka.

Yang Berhormat di-Pertua penjelasan, tanduk lembut guaner, tanduk keras guaner dok rajin tengok saya.

Nanti.

Memang sedap hok keras sepatutnya. Cuma nak tahu hok lembut guaner?

Yang Berhormat Kijal minat yang keras jer...(Sambil gelak) ..... Nanti saya bawa Yang Berhomat Kijal pergi melawat ladang rusa, insya-Allah. Dan penternakan rusa ni, dia mampu menjadi satu ikon untuk Agro Pelancongan di Negeri Terengganu dalam masa yang sama boleh menjadi destinasi untuk Food Tourism. Dan insya-Allah pada Sidang DUN akan datang kita harap kita akan dapat rasa keenakan daging rusa sumbangan Yang Berhormat Ajil, insya-Allah.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, ADUN Wanita menyentuh berkenaan dengan pencemaran laut yang mendatangkan ancaman kepada industri perikanan kita. Memang ada kes penyu yang mati kerana makan plastik sebab sebenarnya penyu ni dia keliru di antara plastik dengan obor-obor yang menjadi makanan asasi penyu. Lautan yang ada, di pesisir pantai di Negeri Terengganu sepanjang 244 kilometer daripada Kemaman sehingga ke Besut adalah sumber mata pencarian rakan-rakan nelayan kita dan laut ni bukan tong sampah. Dan hidupan laut ini dijadikan oleh Allah secara sunnahnya untuk hidup dalam lingkungan yang bersih. Bila persekitaran kotor, mereka lari dan yang akan ruginya ialah kita, dan saya suka mencadangkan kepada semua rakan-rakan Yang Berhormat yang kawasannya ada pantai terkecuali kawasan Pantai Ali di kawasan Yang Berhormat Kuala Berang agar menjadikan program gotong royong bersih pantai ini di antara program rutin sama ada secara dwi bulanan ataupun secara dua-tiga kali setahun untuk kita melazimi menyumbang kepada kebersihan pantai kita.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Kuala Besut menyentuh berkenaan dengan pencemaran Sungai Seri Kemunting di Kuala Besut yang dimaklumkan menjejaskan sangkar-sangkar ternakan ikan air tawar yang ada di sungai ini. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Besut. Setelah saya teliti dan mendapat beberapa maklumat sebenarnya dia bukan berpunca daripada pencemaran industri tapi berpunca daripada kegiatan menyembur racun kepada kawasan sawah padi yang berdekatan kemudian air daripada kawasan sawah padi ini mengalir ke dalam sungai, air yang dicemari racun dan ia menjejaskan sedikit sebanyak sangkar-sangkar ternakan ikan yang ada di dalam sungai itu. Alhamdullilah, laporan yang kita terima, kematian ikan yang berlaku akibat sedikit pencemaran tidak membimbangkan. Setakat ini dalam konteks Negeri Terengganu tidak berlaku lagi pencemaran sungai kita kerana buangan sisa-sisa industri dan kita perlu pelihara untuk masa depan anak cucu kita, insya-Allah. Bila berlaku pencemaran sungai natijahnya ialah kematian ikan-ikan yang diternak oleh penternak-penternak kita. Ikan ini bila dia mati dia akan timbul, yang itu kita tak kisah sangat, yang kita kisah bila air mata penternak kita jatuh, yang ini kita kisah.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Rantau Abang menyentuh berkenaan dengan Muara Sungai Dungun daripada Nibong ke Delong yang dikatakan sesuai sebagai lokasi untuk pendaratan tuntung bertelur. Tuntung ni ada dua jenis, yang pertama, Tuntung Air Masin, Tuntung Air Masin di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan dan yang kedua, Tuntung Air Tawar di bawah bidang kuasa Jabatan Perhilitan dan EXCO Pertanian kena jaga dua-dua, masin dan tawar kena jaga dua-dua. Dan untuk makluman Dewan, dua lokasi di sepanjang Sungai Dungun iaitu di Pasir Kumpal dan juga Pasir Tok Chu telah diwartakan sebagai Tempat Pendaratan Tuntung Bertelur yang dijaga oleh Jabatan Perikanan.

ADUN Bandar, Yang Berhormat ADUN Bandar menyentuh berkenaan dengan ancaman nelayan asing yang menceroboh pengairan negara kita yang bukan hanya setakat memusnahkan khazanah hasil laut kita, dalam masa yang sama juga mendatangkan isu ancaman keselamatan kepada nelayan kita. Ancaman nelayan asing ini bila kita sebut dia bermakna nelayan Vietnam kerana tidak berlaku lagi pencerobohan nelayan Thailand kepada kawasan pengairan kita. Isu ini isu lama, walaupun lama dia sebut berulang kali tetap kita kena sebut tanpa jemu dan kita berusaha untuk menangani, tak boleh selesai semua, kita selesai sebahagian. Isunya berkaitan dengan isu pelesenan dan penguatkuasaan di laut yang melibatkan multi agencies di peringkat Kerajaan Persekutuan yang masih gagal sehingga sekarang ini untuk disatukan di bawah satu pengarahan. Nelayan Vietnam yang menceroboh pengairan kita sebenarnya bukan guna Pukat Kokok, Pukat Kokok itu kesan dia masih kecil lagi kalau nak banding dengan dahsyatnya kesan Pukat Ganding yang digunakan oleh nelayan Vietnam. Pukat Ganding dengan makna pukat yang ditarik dengan dua buah bot dengan jarak 150 meter di antara dua buah bot ini daripada dasar laut sampai ke atas, habis dia kokok khazanah hasil laut kita dan dengan keluasan ZEE (Zon Ekonomi Eksklusif) di Negeri Terengganu, sekitar seluas 87,000 kilometer persegi memang laut kita sangat luas dan kalau kita nak kira Zon Ekonomi Eksklusif Wilayah Timur yang dijaga oleh Maritim Wilayah Timur luasnya seluas lebih kurang 200 kilometer persegi, satu keluasan yang sangat luas, sebab itu bila kita mengunjungi Pejabat APMM Wilayah Timur berbincang dengan mereka tentang masalah ini, saya secara jujurnya sangat-sangat menghargai dan berterima kasih di atas pengorbanan yang dilakukan oleh anggota Maritim kita dalam mengawal kedaulatan dan menjaga khazanah hasil laut kita walaupun pencerobohan demi pencerobohan berlaku sebenarnya mereka telah melakukan apa yang terdaya, yang terbaik berdasarkan kekuatan aset dan kemampuan peralatan yang mereka ada. Dalam masa yang sama kita tengok peningkatan kecaknaan daripada nelayan kita, dengan rasa kekitaan, rasa sense of belonging terhadap laut kita dan saya telah minta kepada Pengarah Perikanan Negeri termasuk saya sendiri telefon kita buka untuk menerima laporan daripada nelayan ini 24 jam sehari. Ada nelayan yang hantar gambar, video bot Vietnam yang sedang menceroboh supaya aduan-aduan ini kita boleh selaraskan segera dengan pihak berkuasa. Mudah-mudahan dengan sedikit sebanyak apa yang kita buat, satu kerja yang sebenarnya berada di luar daripada bidang kuasa kita Kerajaan Negeri tapi prinsip kita kerja, tak boleh untuk kita buat semua, kita jangan tinggal semua, kita buat sebahagian, mudah-mudahan ini juga menjadi satu sumbangan sokongan kepada industri perikanan kita.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Manir menyentuh beberapa kejayaan daripada Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Negeri Terengganu. Kejayaan ini baru bunga-bunga sikit-sikit, baru bau-bau sikit, buahnya tak nampak lagi dan kita perlu bekerja keras supaya bunganya bertukar menjadi buah biarlah kejayaan-kejayaan dalam bentuk kejayaan kecil tak apa, tapi kita selesaikan keresahan dan rungutan rakyat secara berperingkat dan kepada Allah kita berserah segala urusan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Jabi, saya jemput Wakil Bukit Payong untuk membuat penggulungan.

Mohd Nor bin HamzahPAS · GSBukit Payung

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdullilah Hilqoil:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taat, patuhilah Allah dan taat, patuhilah Rasul dan pemegang-pemegang urusan pemerintahan di kalangan kamu, maka jika kamu bertelingkah dalam semua perkara, maka hendaklah kamu kembalikan urusan itu kepada Allah yakni Al-Quran dan Ar-Rasul yakni hadis, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian itu paling baik dan itulah pentafsiran yang paling indah.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, Ketua-ketua Jabatan, para Pemerhati yang saya hormati lagi saya kasihi sekalian.

Saya mengambil peluang untuk merakamkan dan merafa’ sembah Ucapan Penghargaan dan Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Tuanku Sultan yang telah menyebut beberapa perkara penting.

Usul Melanjutkan Tempoh Masa PersidanganMotion

Yang Berhormat Yang di-Pertua, memandangkan masa Persidangan akan tamat tempohnya pada pukul 5.00 petang, dengan ini saya mencadangkan supaya tempoh persidangan ini dilanjutkan sehingga selesai semua Tertib Pekerjaan berkaitan Usul Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di dalam Tertib Pekerjaan Dewan sebagaimana yang telah ditetapkan menurut di bawah Perkara 7(1A) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.

Yang di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya telah menerima satu cadangan supaya melanjutkan tempoh masa persidangan pada hari ini. Oleh demikian masa Persidangan Dewan ini dilanjutkan sehingga selesai semua pekerjaan berkaitan Usul Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagaimana telah ditetapkan dalam Tertib Pekerjaan Dewan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14, Persidangan Dewan diteruskan.

Mohd Nor bin HamzahPAS · GSBukit Payung

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya merasakan sangat teruja dengan beberapa perkara yang disebut dalam Titah Diraja khususnya mengenai peranan MAIDAM, peranan Akademik DUAT Terengganu atau pun Didik Ulama Amilin Terengganu, Program SPIKE yang dilaksanakan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan MAIDAM. Dalam peluang yang ada ini, saya juga menjunjung kasih setinggi-tingginya atas peranan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan sebagai Ketua Agama negeri ini. Kerajaan Negeri sudah tentu adalah khadam bagi mengurus dan mentadbir dan memartabatkan agama di negeri ini dan saya hanya mahu respon tentang dua perkara yang disebut oleh beberapa Ahli Dewan.

Yang pertama, yang berkaitan dengan penyatuan ummah. Sudah tentu penyatuan ummah yang kita maksudkan ialah penyatuan ummah yang berpaksikan Islam. Penyatuan ummah bagi membina kebajikan dan agenda Islam di waktu yang sama penyatuan ummah ke arah membina perpaduan yang hebat dalam menyekat segala usaha-usaha bagi menggugat kemuliaan dan ketinggian agama Allah bahkan kita mengharapkan penyatuan ini akan dapat menumbangkan DAP yang kelihatan dominan dalam memerintah Malaysia hari ini, Insya Allah. Saya sangat mengalu-alukan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Hulu Besut agar penyatuan ini menjadi segar dan mekar dalam kehidupan masyarakat Negeri Terengganu. Saya mengharapkan insya Allah, Yang Berhormat-Yang Berhormat dan semua pihak dapat turut hadir dalam semua program yang disusun oleh Kerajaan Negeri. Sempena bulan Rejab ini, telah menganjurkan suatu Program Penghayatan Bulan Ibadat Solat, kita harap semua pihak dapat menyatukan bagi menjayakan semua program-program seumpama ini, insya Allah.

Yang Berhormat Hulu Besut sebut bahawa kemungkinan Kerajaan yang ada ini sepenggal sahaja. Itu adalah perkara yang mungkin. Kerana dunia ini adalah mungkinan. Dalam ilmu tauhid, semua mungkin. Mungkin juga Yang Berhormat Hulu Besut tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Mungkin juga UMNO tidak akan bertanding di Terengganu dalam Pilihan Raya Yang Ke-15 kerana saya rasa tidak sepatutnya lagi untuk bertanding di Negeri Terengganu atas asas penyatuan ummah ini. Bahkan kemungkinan pemimpin-pemimpin UMNO akan bertanding di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Yang Ke-15 yang kita bersedia untuk membantu dalam pilihan raya di Negeri Sembilan. Semua itu adalah mungkin, mungkinan. Tetapi kita mengajak agar rakyat ini berfikir Kerajaan yang ada hari ini sedang berusaha untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan kerajaan yang lalu dan memenuhi agenda kebajikan dan kebaikan rakyat. Sudah tentu rakyat yang cerdik dan bijak akan meneruskan Kerajaan yang ada ini. Tetapi tidak mustahil kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam menyebut, di antara tanda hari kiamat (Yang bermaksud): Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah manusia yang paling bahagia dalam memimpin dunia ini adalah pemimpin yang bodoh daripada keturunan yang bodoh.

Tidak mustahil kerana perkara itu semua adalah perkara yang mungkinan. Terserahlah di masa depan untuk Allah menentukannya. Tetapi kami berdoa agar Kerajaan ini akan terus memikul amanah dan menunaikan amanahnya agenda kebaikan rakyat. Kami tidak sedih jika Kerajaan ini tumbang dan tidak diterima oleh rakyat jika kami telah memenuhi amanah dan melaksanakan agenda-agenda kepentingan rakyat. Yang kami sedih jika Kerajaan ini tumbang dan dikalahkan sedangkan Kerajaan ini sedang membina dan telah, akan melaksanakan agenda kebajikan rakyat, mengecualikan cukai pintu rumah kediaman, memberikan pengecualian bayaran 20 meter padu air percuma kepada golongan miskin dan berbagai-bagai lagi. Insya Allah penyatuan ini akan menjadi segar, insya Allah.

Yang kedua, Pilihan Raya Yang Ke-14 merupakan kehendak rakyat yang mahukan perubahan. Perubahan dalam polisi dan kepimpinan sudah tentulah Kerajaan hari ini sudah berlaku perubahan kepimpinan. Saya memuji bekas Menteri Besar yang lalu yang telah menerima persediaan untuk berubah sehingga berlaku Majlis Penyerahan Fail di antara bekas Menteri Besar kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Inilah yang kita harapkan bahawa semua pihak bersedia menerima perubahan termasuklah bersedia menerima perubahan kepimpinan masjid. Sudah tentu kepimpinan mana-mana tidak kekal. Masjid bukan milik Imam, masjid bukan milik Bilal, masjid bukan milik mana-mana peribadi dan tidak ada orang boleh kekal menjadi Pengerusi dan Jawatankuasa Masjid selama-lamanya. Ia boleh berubah. Sesiapa sahaja boleh berubah. Perubahan ini juga perlu dan wajar dibuat. Yang pertama kerana memenuhi kehendak rakyat yang mahu perubahan kepimpinan. Yang kedua, perubahan ini juga wajar dibuat bagi mempastikan bahawa Jawatankuasa Masjid bergerak bagi menunaikan visi, misi dan hala tuju Kerajaan Negeri ke arah mencapai Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera. Yang ketiga, kita telah memberi tempoh 10 bulan dan di waktu yang sama saya melihat bahawa ada Jawatankuasa Masjiid yang lagi tidak rasa bersemangat kerana kejujuran mereka untuk menyerahkan perubahan kepimpinan di masjid-masjid ini. Hasil daripada tuntutan inilah kita rasakan bahawa kepimpinan masjid perlu dibuat agar kepimpinan masjid boleh bergerak di atas asas kerjasama dengan kepimpinan kampung, MPKK. Pejabat agama telah menentukan garis panduan dan peraturannya bahawa MPKK di atas kehendak rakyat sebagai pemimpin majoriti masyarakat boleh memilih 10 orang sebagai pemimpin. Enam orang kita serah kepada budi bicara Pejabat Agama. Memang sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Kuala Besut, berbeza dengan yang ni. Ya, berbeza. Tahun 2004, saya bukan nak ungkit. Tahun 2004 saya pernah menjadi Pengerusi Masjid. Hari ini kalah, besok orang terus isytihar kamu bukan lagi Pengerusi Masjid. Kita terima perubahan itu. Kita terima perubahan itu kerana perubahan adalah kehendak rakyat. Oleh kerana itu saya rasa kita semua mestilah mencontohi apa yang berlaku kepada sahabat Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam, Khalid bin Al-Walid, seorang yang banyak jasanya sehingga kata-kata di zaman itu berkata (yang bermaksud): “Adakah orang perempuan tidak lagi berupaya untuk melahirkan orang yang hebat seperti Khalid bin Al-Walid”.

Khalid Al-Walid jasanya besar. Setiap kali memimpin tentera, menang, menang, menang. 13 Hijrah bulan Rejab, Khalid Al-Walid seorang pemimpin yang sedang mengepung tentera di Syam. Berlaku perubahan kepimpinan kewafatan Abu Bakar diganti dengan Sayyidina Umar. Sayyidina Umar menulis surat menghantar surat bukan kepada Al-Khalid, bukan kepada Khalid, tetapi kepada Abu Ubaidah Al-Jarrah. Dalam surah itu, menulis wahai Ubaidah, aku memberi wasiat kepadamu supaya bertaqwa kepada Allah, peganglah tentera yang sedang dipimpin oleh Khalid, pecat Khalid, engkaulah hari ini menjadi pemimpin. Khalid Al-Walid menerima keputusan itu dengan hati yang tenang. Khalid Al-Walid menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka. Akhirnya mewujudkan penyatuan tentera yang bukan sahaja berjaya mengalahkan musuh di Syam, tetapi bergerak, akhirnya tumbang kuasa besar dunia Parsi. Kuasa besar itu gugur, kalah kerana kesediaan seluruh masyarakat dalam menerima perubahan. Contohilah dan dengari apa yang disebut oleh Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam (Yang bermaksud): Dengarlah, taatlah walaupun yang dipilih menjadi pemimpin kamu seorang lelaki hamba, hitam legam, kepalanya seperti buah kismis.

Tidak ada karisma. Kemungkinan ada orang kata cadangan-cadangan jawatankuasa masjid tu ada orang hok jarang-jarang pergi masjid, kemungkinan sebelum dia jadi Pengerusi Masjid, dia jarang. Lepas dia jadi Pengerusi Masjid, dia jadi rajin. Perubahan yang besar, perubahan yang bagus. Orang yang banyak jasanya, kita ucap terima kasih kepada semua pihak termasuk Yang Berhormat-Yang Berhormat yang pernah menjadi Menteri Besar yang pernah menjadi EXCO, semua pegawai-pegawai, semua pengerusi-pengerusi masjid yang pernah memberi jasanya yang besar terhadap masjid, insya-Allah jasa mereka akan dibalas oleh Allah. Sedialah menerima perubahan ini dengan tenang. Contohilah sahabat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam yang tidak ada seorang pun di antara kita serupa dengan Khalid bin Al-Walid pada jasanya. Saya rasa cukuplah dua perkara itu untuk memberikan respon agar kita dapat membina kebaikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. Saya mohon menyokong Titah Diraja Tuanku.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakil Bukit Payong. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal untuk membuat penggulungan.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang dihormati Tuan Yang di-Pertua Dewan, yang dihormati Yang Amat Berhormat Menteri Besar, yang dihormati rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kerajaan dan para Pemerhati sekalian.

Pertamanya saya mengucap syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada petang ini diberi peluang untuk sama-sama Menjunjung Kasih ke atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua yang telah mengizinkan saya untuk mengambil peluang tersebut.

Alhamdulillahir rabbil alamin wabihi nasta’in, wassalatu wassalamua’la asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Rabisy rahli sadri wayasirli amri wahlul ukhdatan minlisani yafqohu qauli. Pada perbahasan yang telah disertai oleh kebanyakan ahli-ahli Yang Berhormat dan juga dalam Titah Ucapan Tuanku dan saya kira dua muka surat, muka surat 23 dan 24 telah menyentuh secara meluas tentang projek perumahan ataupun disebut Rumah Mampu Milik yang kita mensasarkan penggal ini Kerajaan Negeri dapat menyediakan sekurang-kurangnya 20,000 unit. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan para hadirin-hadirat sekalian, untuk tahun ini kita sudah ada 1,740 unit rumah dalam pembinaan yang kita jangka insya-Allah akan siap pada tahun ini. Sementara itu, dalam perancangan kita ada yang untuk hari inilah untuk sampai ke hari ini perancangan kita, kita ada 8,510 unit yang akan dibina yang mana 5,317 daripadanya insya-Allah akan kita mulakan pada tahun ini dan bakinya kita akan mulakan tahun 2020. Ini melibatkan bukan sahaja daripada peruntukan Kerajaan Negeri sahaja kerana kita semua maklum dengan peruntukan Kerajaan Negeri, dengan duit yang kita ada dicandat pula 25%, sudah tentulah tidak mampu untuk kita menyediakan rumah sebanyak itu. Tapi, dengan kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan, saya mengucapkan terima kasih Dewan ini pada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang telah memberi akujanji dan bersedia untuk memberi peruntukan pada tahun ini bagi membina rumah di bawah peruntukan KPKT (Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan) juga melibatkan penswastaan, joint venture, kerjasama di antara Kerajaan Negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dengan pemaju-pemaju swasta juga daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad. Kerjasama inilah yang boleh kita merancang sehingga pada 8,510 unit hingga pada hari ini. Kita doa semoga janji-janji pada Kerajaan Pusat akan ditunaikan dan perjalanan pembinaan rumah termasuk pemaju swasta juga tidak menghadapi banyak halangan untuk dilaksanakan pada tahun ini dan tahun hadapan.

Untuk saya respon tentang rumah ini dulu berkaitan dengan ditimbulkan oleh ADUN Batu Rakit, Wakil Batu Rakit, terutama status Rumah Mampu Milik Pulau Redang, projek tersebut memang slow tapi hidup, tak mati, tak terbengkalai, tapi slow-slow. Sudah siap 88.7%, insya-Allah baki dijangka boleh siap pada tahun ini walau slow-slow macam penyu. Penyu ke apa yang slow, kura-kura. Rumah Mampu Milik Pulau Perhentian dukacita dimaklumkan tapak itu tidak sesuai dan merbahaya untuk dibuat rumah dan kita batalkan projek tersebut. Tentang agihan rumah PPRT Batu Rakit, untuk makluman Wakil Batu Rakit, rumah ada 10 buah, betulkan? Tapi pemohon ada 20 orang sekarang, jadi insya-Allah pihak DUN Batu Rakit akan menyelesaikannya melalui satu proses temu duga, pemilihan dan sebagainya. Serah pada Batu Rakitlah, itu 10 buah rumah saja, tak banyak.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Asalnya pemilihan sudah dibuat oleh penghulu seramai 10 orang, dia telah maklum penama-penama ini sudah dimaklum dapat rumah itu, jadi sebab itu saya kata kita terus saja pemilihan yang telah dibuat oleh penghulu tadi. Terima kasih.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Terima kasih, insya-Allah kita akan serah kepada Batu Rakitlah, Penyelaras DUN Batu Rakit sekarang dan kita akan bincanglah bagaimana untuk diselesaikan cepat 10 buah rumah yang ada ini.

Tuan Speaker, mencelah sikit.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Ya, sila.

Di Pulau Perhentian, kita sedia maklum dah bahawa tapak itu memang tidak berapa sesuai, cuma dimaklumkan oleh pihak Pejabat Tanah di Besut dan juga Pejabat Daerah dan juga orang kampung pun setuju, dia ada satu lagi tapak di sebelah Pulau Perhentian Besar yang agak landai di kawasan Teluk Dalam yang boleh didirikan perumahan untuk orang kampung. Saya mohon supaya pihak Kerajaan mengambil kira faktor geografi yang kita maklumkan. Terima kasih.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Terima kasih Kuala Besut, memang kita cukup ambil berat tentang kekurangan rumah di pulau ini tapi apakan daya tapak yang dipilih dahulu itu memang tak boleh buat rumah dan kontraktor pun tak mampu buat. Dan oleh itu insya-Allah cadangan itu kita akan ambilkira di Pulau Perhentian Besar. Okey, insya-Allah. Terima kasih.

Berkaitan dengan yang ditimbulkan oleh Wakil Kijal, tentang Syarikat Perumahan Tok Arau Sdn. Bhd. Telah saya minta siasatan dibuat oleh Bahagian Perumahan dan juga UPEN. Kita tidak ada rekod tentang syarikat tersebut. Minta maaf Kijal. Tiada rekod hingga hari inilah.

Saya pergi kepada tajuk yang seterusnya berkaitan dengan kebersihan yang ditimbulkan oleh Wakil Kemasik dan juga ADUN Wanita. Kerja-kerja pembersihan awam di tempat awam seperti di taman rekreasi, pantai-pantai utama tumpuan pengunjung, pulau-pulau peranginan dan hentian bas telah dijalankan oleh kontraktor pembersihan. Pihak Berkuasa Tempatan merangkumi kerja kutipan sisa pepejal, penyapuan, pemotongan rumput dan pembersihan longkang. Selain daripada itu, antara inisiatif lain yang telah dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan ialah dengan mewujudkan Zon Sifar Sampah di mana beberapa tempat hotspot di kawasan tumpuan orang awam telah digazetkan sebagai tempat larangan membuang sampah dan tindakan penguatkuasaan dengan kaedah pengeluaran notis kompaun dijalankan. Di samping itu juga pemantauan dan rondaan pengawal di lapangan sentiasa dilakukan bertujuan untuk memastikan kerja-kerja yang dijalankan oleh pihak kontraktor PBT di kawasan tumpuan orang awam sentiasa dalam keadaan bersih, bebas daripada sampah sarap.

Hasil daripada itu, saya ucap tahniah pada pihak-pihak PBT telah dibuat satu penilaian oleh MURNInets. MURNInets merupakan singkatan kepada Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Luar Bandar Malaysia ataupun Malaysian Urban-Rural National Indicators Network for Sustainable Development. Itu satu pendekatan yang dapat mengukur dan menilai kemampanan sesebuah bandar serta kawasan gabungannya melalui penggunaan Petunjuk Bandar. Hasil daripada itu yang MURNInets ini menilai dalam enam dimensi. Dimensi pertama ialah ekonomi berdaya saing. Dimensi kedua, kualiti persekitaran mampan. Dimensi ketiga, komuniti sejahtera. Dimensi empat, guna tanah dan sumber asli optimum. Dimensi lima, infrastruktur dan pengangkutan efisyen. Dan keenam, urus tadbir efektif. Hasil daripada itu maka keputusannya ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu mendapat markah 94% - Mampan. Mampan ini yang dapat markah 85 hingga 100 peratus. Majlis Pembandaran Dungun juga mendapat taraf Mampan - 92 peratus. Majlis Daerah Setiu, Sederhana Mampan - 84 peratus. MPK Sederhana Mampan - 81 peratus. MDM Sederhana Mampan - 80 peratus, MDB bukan 1MDB ni, Majlis Daerah Besut, Sederhana Mampan - 74 peratus. Majlis Daerah Hulu Terengganu, Sederhana Mampan - 72 peratus. Ini menunjukkan bahawa kerja-kerja yang dibuat oleh PBT adalah memuaskan dan mendapat pengiktirafan yang baik daripada MURNInets, daripada pengiktirafan tersebut.

Suka saya sambung sedikit berkaitan dengan kebersihan dan keceriaan yang ditimbulkan oleh Kemasik dan juga ADUN Wanita berkaitan alam sekitar. Jabatan Alam Sekitar juga telah terlibat dalam memberi kesedaran alam sekitar pada orang awam bagi memastikan kelestarian alam sekitar. Jabatan ini telah menyambut Hari Bumi pada 22 April, Hari Alam Sekitar Sedunia, World Environment Tour Day, Hari Ozon dan Hari Alam Sekitar Negara, 22 Oktober setiap tahun. Seminar kesedaran alam sekitar kepada remaja serta pelajar sekolah juga dijalankan. Program gotong royong membersihkan kawasan bersama Rakan Alam Sekitar (RAS) juga diadakan setiap tahun. Jabatan Alam Sekitar juga menganjurkan Pertandingan Sekolah Lestari Alam Sekitar dan Program Kesedaran Pengumpulan (e-Waste).

Pemantauan pembuangan sisa toksik yakni buangan berjadual yang ditimbulkan oleh Kuala Besut. Pemantauan pembuangan sisa toksik dijalankan melalui pemeriksaan penguatkuasaan secara berkala, empat kali setahun terutama terhadap premis-premis yang ditetapkan yang terlibat dalam pengurusan dan pelupusan buangan berjadual di Terengganu, di lapan premis kita ada. Pemantauan Buangan Terjadual juga dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui online system, E-SWISS di mana pergerakan buangan berjadual dari kilang-kilang kepada tempat pelupusan yang dibenarkan atau dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan direkod melalui sistem tersebut. Dengan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan oleh Jabatan Alam Sekitar Terengganu, insya-Allah tragedi seperti Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 10 Mac 2019 yang lalu itu tidak akan berlaku di Negeri Terengganu Darul Iman ini. Insya-Allah.

Berkaitan dengan Kad Sejahtera, insya-Allah, kita sudah pada peringkat akhir, kita jangka kita akan dapat lancarkan pada awal bulan Mei 2019 nanti. Insya-Allah. Wad Kelas 3 tak timbul dok? Esok saya jawablah soalan tu Wad Kelas Tiga.

Bagi Jabatan Kesihatan pula demi menjaga kesihatan rakyat yang ditimbulkan tadi, beberapa program telah dijalankan khususnya sekarang bila kita sebut tentang wabak denggi yang melanda Negeri Terengganu dengan kadar yang tinggi. Maka telah dibuat Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan serentak seluruh negara. Yang kedua, Program Gotong Royong Terengganu Go Clean Peringkat Negeri Terengganu. Yang ketiga, Sambutan Hari Bumi SMK Badrul Alam Shah Kemaman. Kempen e-Waste menggunakan teknik Nudge Program Gotong Royong Bersepadu, Sesi Bual Bicara Bersama Pengendali Makanan, Rahsia Premis Makanan Gred A dan Premis Bersih Tanpa Asap Rokok. Kempen Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon, Program Khidmat Komuniti Kesihatan Persekitaran sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia dan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Terengganu. Semua agensi-agensi di bawah portfolio telah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kita doa semoga ianya dapat memberikan kita hidup yang dalam keadaan sejahtera.

Akhirnya suka saya menyentuh yang ramai disebut tentang PITAS (Pelan Induk Terengganu Sejahtera) yang menjadi blueprint kita atau pelan induk untuk memacu kemajuan Negeri Terengganu. Berkenaan dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera PITAS 2030 yang disentuh oleh Yang Berhormat Tepoh, Yang Berhormat Rantau Abang dan juga Yang Berhormat Bukit Besi. Untuk makluman semua PITAS 2030 merupakan pelan induk yang merangkumi Pelan Pembangunan Ekonomi dan Pelan Pembangunan Insan di samping menggabungkan semua pelan-pelan yang sedia ada. PITAS 2030 secara asasnya diwujudkan untuk mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan baharu pada Kerajaan Negeri selain daripada royalti daripada sumber minyak dan gas. Untuk makluman Yang Berhormat juga, setakat ini PITAS 2030 telah dibentangkan kepada beberapa agensi Kerajaan seperti UPEN, Plan Malaysia, SUK Bahagian Sumber Manusia dan lain-lain. Dalam masa yang sama kita dalam proses mengadakan Bengkel PITAS 2030 bersama dengan semua agensi Kerajaan untuk proses pelaksanaan dan memastikan perancangan agensi akan diselaraskan dengan PITAS 2030. Hasil daripada bengkel ini insya-Allah, PITAS 2030 akan dibentangkan kepada semua pihak yang disebut town hall tadi untuk mendapatkan pandangan tambahan untuk menjadikan PITAS 2030 sebagai hak milik kita bersama. Antara perkembangan lain adalah beberapa ahli dari barisan EXCO Kerajaan Negeri, portfolio tertentu telah mula merangka pelan peringkat portfolio masing-masing yang diselarikan dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera, PITAS 2030. Semoga dengan perkembangan yang penting ini boleh memastikan matlamat Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadikan Negeri yang Maju, Berkat, Sejahtera akan dapat dicapai secara holistik dan kolektif bermula daripada peringat pembuat dasar sehinggalah pada akar umbi.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan tuan-tuan yang dihormati sekalian. Hasrat kita memang tinggi, kita mempunyai hasrat yang sangat tinggi dan sudah tentulah untuk melaksanakan PITAS yang begini besar kita memerlukan satu Jawatankuasa Pemandu untuk menjadi pembimbing dan juga memantau kerja-kerja yang akan dijalankan oleh agensi-agensi yang akan melaksanakan PITAS 2030. Semoga kita berjaya mencapai kemajuan yang kita inginkan mengikut jadual manifesto yang telah kita tetapkan.

Saya rasa sekadar itulah Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua yang dapat saya gulung ataupun buat suatu conclusion pada petang ini berkaitan dengan Titah Ucapan Diraja, dengan itu saya mohon menyokong Titah Ucapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Bukit Tunggal. Sila Wakil Paka untuk membuat penggulungan.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahir rabbil alamin. Assalatu wassalamu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wassahbihi wa man tabi’ahum bi ihsani ila yaumiddin.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saf EXCO, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Pemerhati dan hadiran-hadirat sekalian. Pertamanya, alhamdulillah berkesempatan untuk turut sama menyentuh dan juga merafak sembah Ucapan Titah Tuanku Sultan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 dan saya rasa memandangkan kesuntukan masa ini, saya terus memberi pandangan ataupun respon terhadap beberapa pandangan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Sidang Dewan Kali ini.

Yang pertama, Yang Berhormat Sura yang menyentuh tentang perihal Sekolah Menengah IMTIAZ di Dungun yang antaranya masih lagi menggunapakai bangunan lama. Ya, memang ada 22 bangunan kayu yang diguna pakai sejak tahun 1975 bekas bangunan ITM lama dulu, yang dahulunya milik PMINT dan juga telah diserahkan kepada pihak Yayasan. Sebenarnya ia sudah dibaik pulih pada tahun 2006 yang membelanjakan kos sebanyak RM3 juta. Dan untuk persiapan tahun 2020 ni pihak Yayasan bercadang untuk mengambil kembali pelajar tingkatan satu dan akan ditempatkan di Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu di Dungun ini. Pihak Yayasan sudah bersedia untuk membaik pulih dan menaik taraf beberapa bangunan lagi yang bakal menelan belanja kos sebanyak RM600,000, insya-Allah. Tak banyak mana sebab kayu ni walaupun 1975 kayu lama ni tahan, kayu cengal Cap Raleigh …(sambil tergelak) … lambat karat, insya-Allah. Jadi boleh pakai lagi bangunan ni cuma kos baik pulih tu anggar dalam RM600,000, insya-Allah demi keselesaan dan keselamatan pelajar kita. Dan pihak Yayasan juga akan mempersiapkan satu kelas khas di Dungun ini iaitu kita akan membuka satu kelas khas iaitu Tahfiz Mandarin bermula pada 2020 kerana ada 497 orang pelajar Melayu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di seluruh Terengganu ni daripada Cukai ke Jerteh dan ada lebih kurang 50 pelajar darjah 6, 62 pelajar di darjah 5 sekarang yang kita akan offer untuk satu kelas khas di IMTIAZ Dungun ini untuk ambil mata pelajaran Mandarin dan juga Tahfiz Al-Quran, insya-Allah, yang akan bakal meluaskan lagi ruang untuk pelajar memilih pusat-pusat pengajian di luar negara nanti, insya-Allah. Dan untuk akan datang tu insya-Allahlah kalau ada pitih, orang pun dok candat, insya-Allah kita akan buat bangunan barulah.

Yang kedua, Yang Berhormat Buluh Gading menyentuh tentang Skim Pinjaman Pelajaran Pelajar Cemerlang Anak Terengganu. Pihak Kerajaan Negeri sebagaimana telah diwar-warkan dan sedia maklumlah dan sekarang baru kita dapat keputusan SPM, STAM dan juga STPM, pihak Kerajaan Negeri saya ambil kesempatan inilah mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat JPNT, Bahagian Hal Ehwal Pendidikan, Pejabat Agama dan sebagainya, sekolah-sekolah, guru-guru warga pendidik yang telah berjaya mengharumkan Negeri Terengganu Darul Iman dalam bidang pendidikan dan keputusan peperiksaan STPM, STAM dan juga apa SPM baru-baru ini yang terus meletakkan Negeri Terengganu antara negeri yang terbaik cemerlang dalam peperiksaan.

Jadi atas hal ini, pihak Kerajaan Negeri membuka ataupun menawarkan Skim Biasiswa Pelajar Cemerlang Untuk Anak Terengganu sebanyak RM5 juta. Jadi ada beberapa persoalan yang ditanyalah tapi kita menyebut bahawa biasiswa ini kita offer sama ada untuk luar negara mahupun untuk dalam negara bukan kata untuk luar negara sahaja tapi juga untuk di dalam negara. Untuk luar negara antaranya adalah untuk perubatan, pergigian, sains kejuruteraan ataupun perakaunan dan juga Pengajian Islam, Islamic Banking dan juga Finance di Jordan. Antara syarat-syarat kelayakan akademik, antaranya lulus SPM dengan sekurang-kurangnya A dalam 8 mata pelajaran. Jadi kita pun sedia RM5 juta jadi kita tengok rangkinglah Insya-Allah yang apa layak dan sekarang ini ramai pelajar-pelajar cemerlang sama ada STPM, STAM dan sebagainya layak untuk memohon dengan syarat-syarat yang kita sebutlah ataupun lulus peperiksaan peringkat Foundation dengan pencapaian CGPA 3.75 ataupun yang setaraf dengannya.

Bagi yang mengambil perubatan, pergigian Mesir ataupun Jordan lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya A dalam 8 mata pelajaran termasuk 3 mata pelajaran Sains Tulen, Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Arab Tinggi, Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris ataupun mendapat sekurang-kurangnya Jayyid Jiddan, CGPA 3.50 ke atas dalam peperiksaan tahun semasa. Dan begitu juga Program Perubatan di Indonesia, India ataupun Pakistan ataupun satu lagi Bangladesh. Ia lulus dengan mendapat sekurang-kurangnya A dalam 8 mata pelajaran, sama sahaja. Dan juga bagi Pengajian Islam, lulus SPM dengan mendapat pangkat A dalam 8 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran, Sunnah dan juga Pendidikan Syariah Islam tapi sedia maklumlah, dia kena mohon dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapat tempat di universiti di luar negara. Walaupun cemerlang, kadang-kadang salah pilih kos, dia ditolak, maka kita tidak menawarkanlah. Dan pengajian IPT dalam negara lulus Matrikulasi kendalian Kementerian Pelajaran Malaysia atau setaraf dengan memperolehi CGPA 3.75 dan ke atas.

Juga pihak Kerajaan Negeri menawarkan peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, RM1.5 juta dan kita anggarkan ini untuk dalam negara sahaja. Anggaran kita dalam 38 orang. Bagi mendapat Biasiswa Program Sarjana ini, hendaklah mendapat lepasan Sarjana Muda universiti-universiti dan kursus yang diiktiraf dalam dan luar negara dengan mendapat sekurang-kurangnya CGPA 3.50, dia boleh memohon dan umur tidak boleh melebihi 28 tahun. Y.B. Bukit Besi tak boleh dah, 28 tahun ke bawah. Untuk program Doktor Falsafah, lepasan Ijazah Sarjana daripada universiti diiktiraf dan berumur tidak melebihi 32 tahun semasa memohon dan dia mendapat tawaran daripada universiti yang diiktiraf pengajian sepenuh masa dan tidak berkerja kita akan bagi biasiswa.

Satu lagi Skim Pinjaman Pelajaran, kadar yuran sahaja. Kerajaan Negeri menyediakan RM10 juta dan anggaran dalam 250 orang sama ada luar negara mahupun dalam negara. Antaranya dia perlu mendapat tempat dahulu dan dia melepasi satu peperiksaan, keputusan peperiksaan itu hendaklah dihantar untuk dimohon untuk ke pihak Yayasan dan keputusan itu perlu memperolehi CGPA 3.50 ke atas ataupun Jayyid Jiddan paling kurang ataupun Mumtazlah dan dia tidak mendapat apa-apa penajaan lain. Maka dia berhak untuk mendapat pinjaman yuran, kita bagi pinjaman yuran sahaja biasanya kos kehidupan tu dia boleh tanggunglah biasa macam medik biasa kena bayar USD8,000, RM32,000 yuran jadi Insya-Allah dengan kos tu meringankan banyak bebanan dia. Dan bagi dalam negara dia telah mengikuti pengajian di IPTA atau IPTS dan kursus yang diiktiraf oleh MQA dan Kerajaan Malaysia dan tidak layak ataupun gagal memperolehi penajaan PTPTN dan badan-badan penaja lain. Makna dia tidak dapat PTPTN maka dia boleh, insya-Allah. Dan lagi ada lagi iaitu kalau dia dapat tapi tidak mencukupi untuk membiayai yuran pengajian maka pihak Yayasan Terengganu menyediakan skim untuk top up pembelanjaan yuran dia, itu yang ditanya oleh Yang Berhormat Buluh Gadinglah.

Yang kedua, Yang Berhormat Buluh Gading menyebut tentang Mahkamah Syariah. Jadi pihak Mahkamah Syariah telah membuat tuntutan permohonan pembaikian dan pengubahsuaian bangunan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman. Pihak JKR sudah melihat dan mengambil kira kos sebanyak RM620,000 tapi Unit Aset Pejabat SUK mengadakan lawatan siasatan tapak dan anggaran kos lebih kurang RM490,000 dan insya-Allah dalam proses pemulihanlah.

Seterusnya, Yang Berhormat Buluh Gading sebut berkait dengan laptop, komputer sejak 18 tahun dulu. Bagus Yang Berhormat, dia pergi check habis berapa tahun, berapa tahun kalau kira 18 tahun ni zaman PAS perintah dululah, lama orang UMNO tak ganti-ganti, tunggu PAS perintah pulok baru minta takpe-takpe, insya-Allah. Kita minta Unit Pengurusan Maklumat Negeri sekali-sekala sikit-sikitlah takpe ork, …(Sambil tergelak)… masih lagi tidak menghalang perpaduan kita. Dan saya minta Yang Berhormatlah saya rasa laptop hak ada ni 32 ni nampak tak pakai mana ni, kita bagi ke Mahkamahlah. Kalau Yang Berhormat Yang di-Pertua setuju hor bereh doh selesai doh ni, insya-Allah. Nyaknye sampai e-Syariah tak boleh nak buka, laptop tahun bila, kesian. Okey, Yang Berhormat.

Yang Berhormat Air Putih menyentuh tentang lantikan guru pengajar SRIDI dan setakat ni 6 DUN yang telah buka sekolah ini dan guru-guru lantikan baru diambil sementaranya secara adhoc kecuali Guru Besar yang diambil daripada jawatan-jawatan yang sudah lama berkhidmat DG41. Dan guru-guru SRIDI yang ada telah melalui proses temu duga dan sebagainya dan mereka sedang melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan di UNISZA sekarang ini, kebanyakan graduate belaka, lepasan ijazah belaka dan sekarang membuat Diploma Pendidikan di UNISZA seramai 32 orang, 11 orang sudah memiliki Ijazah Pendidikan dan Diploma Pendidikan. Dan lepas mendapat Diploma Pendidikan tu insya-Allah akan dilantik secara kontrak setelah melalui SPNT (Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu). Panjang dan banyak lagi maklumat ni, nok derah.

Penghapusan pinjaman, memang Yayasan Terengganu masih lagi ada penukaran pinjaman Yayasan Terengganu kepada biasiswa yang dikenali dengan Skim Penghapusan Pinjaman, masih ada lagi dan boleh menghubungi pihak Yayasan Terengganu.

Dan yang terakhir daripada ADUN Batu Rakit. Memang Kerajaan menyediakan insetif kepada yang cemerlanglah, dalam proses, baru lagi, masing-masing sekolah tengah buat pulut lagi baca Yasin doa kesyukuran lepas pada ni insya-Allah kita akan kumpul belaka. Pihak Yayasan sedang mengumpulkan senarai pelajar-pelajar yang cemerlang dan pihak Kerajaan Negeri insya-Allah akan diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Besar insetif yang akan kita beri pada pelajar-pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM dan juga yang melibatkan pelajar luar negara, memang terdekat ni ada 78 pelajar Terengganu yang akan menyambung pengajian ke Mesir insya-Allah, ke Universiti Al-Azhar. Ada juga yang sedang menyambung pengajian ke Turki sekarang ini. Jadi pelajar-pelajar Terengganu kita ini, kita juga walau macamana pun sebab untuk Jordan, Mesir dan juga di Morocco dia perlu melalui Kementerian Pengajian Tinggi. Semua perlu masuk online, tak boleh kita adakan hubungan secara langsung macam tu, tapi kita sedang cuba insya-Allah beberapa negeri yang kita akan mengadakan hubungan termasuk di Timur Tengah, di Arab Saudi dan sebagainya. Kita menunggu MOU dan juga beberapa perkembangan, terbaru untuk pelajar-pelajar kita menyambung ke pusat-pusat pengajian di sana insya-Allah.

Satu lagi berkait dengan bantuan daripada Kerajaan Negeri setakat ni pihak Kerajaan Negeri masih lagi bersedia untuk membantu yang melibatkan pendidikan di Negeri Terengganu ni. Tapi yang lepas antara pihak Jabatan Pendidikan Negeri ini buat soalan cetaklah, pencetakan soalan yang dibayar oleh pihak Kerajaan Negeri dengan Percetakan Yayasan Terengganu. Masalahnya cetak-cetak Kerajaan Negeri dulu tak bayar tinggal hutang, ni tengah mikir RM3.8 juta hutang hak cetak kertas dulu. Pihak Yayasan nak suruh bayar hutang dia dicampur yang UKOM RM1.7 juta jadi RM5 juta lebih hutang di situ. Jadi kita sedang fikir nak bayar hutang lagi, nak cetak yang baru ini lagi. Jadi apa-apapun insya-Allah pihak Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu dan mengekalkan kejayaan kecemerlangan pelajar di Terengganu.

Saya rasa sekadar itu sahaja, terima kasih. Saya, Paka mohon menyokong Titah Ucapan Tuanku. Assalamu’alalaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Paka atas penggulungan yang telah diberikan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian sekarang tibalah masanya yang kita tunggu-tunggu untuk mendengar penggulungan dari Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Wakil Rhu Rendang. Yang Amat Berhormat dipersilakan.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabaraktuh. Alhamdulillahir rabbil ‘alamin. Wabihi nastain. Wal ‘akibatul lil muttaqin wala udwana illa alaz zhalimin. Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua Dewan, yang dihormati Ahli-ahli Yang Berhormat, seluruh Pegawai-pegawai Kanan, para hadirin, para Pemerhati sekalian.

Alhamdulillah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas kesempatan yang diberikan untuk kita sama-sama berada di dalam Dewan yang mulia ini dalam suasana yang sangat harmoni dan sejahtera.

Saya mengambil ruang ini untuk merafak sembah dan menjunjung kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku semasa sesi Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Udangan Negeri Keempat Belas pada 1 April 2019. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan pandangan-pandangan yang bernas dan menarik untuk diteliti serta terus dipertimbangkan bagi mencapai matlamat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasaan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan juga kepada Yang Berhormat Tepoh di atas keprihatinan dengan mengemukakan isu berkenaan dengan projek sakit yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri, kita menerima saranan beliau untuk menubuhkan Task Force bagi memulihkan projek-projek sakit termasuk menjalankan kajian terperinci mengenainya. Walaupun begitu, dengan mengambil kira keadaan kewangan Kerajaan Negeri yang terhad, kesemua projek sakit ini akan disusun mengikut priority.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menarik perhatian semua Ahli Yang Berhormat sekalian berkenaan dengan Pembangunan Seimbang Tiga Daerah iaitu Besut, Setiu dan Hulu Terengganu. Sebagaimana yang disentuh oleh Yang Berhormat Ajil dan Yang Berhormat Kuala Besut berpandukan kepada Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Bagi menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Kerajaan Negeri komited mengagihkan peruntukan Bajet Tahunan kepada semua daerah secara adil dan saksama. Lanjutan itu, ia dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur dan menjadi pemangkin kepada pembangunan setiap daerah. Sepertimana yang disebut oleh Yang Berhormat EXCO Pelancongan, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas iaitu Majlis Tindakan Pembangunan Pelancongan Seluruh Daerah sebagai sokongan merancakkan aktiviti pelancongan terutamanya di tiga daerah tersebut. Secara tidak langsung, ia akan dapat memberdayakan pendapatan isi rumah masyarakat setempat dan menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya juga telah menghadiri dua mesyuarat ECERDC yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama bagi membangunkan kawasan-kawasan perindustrian di seluruh Negeri Terengganu. Sebagai makluman untuk Sidang yang mulia ini, saya ingin menjelaskan bahawa dalam Pelan Pembangunan Projek Infrastruktur Jaringan Utama ECERDC, terdapat beberapa projek utama jalanraya iaitu Central Spine Road, Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT 3) dan East West Link 2 – Laluan Gua Musang–Kuala Berang–Kuala Terengganu.

Selain daripada itu juga, kita juga telah menyuarakan kepada Kerajaan Pusat sebagaimana yang saya pernah sebut dalam Mesyuarat ECERDC yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa projek LPT 3 wajar direalisasikan dan disegerakan kerana kita optimis bahawa pembangunan dan pembinaan LPT 3 ini akan menjadi suatu daya pemangkin baru bagi merancakkan perkembangan ekonomi Negeri Terengganu. Dalam masa yang sama, Projek Pembangunan ECRL juga dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kerajaan Pusat supaya ianya dapat diteruskan tanpa membebankan kewangan Kerajaan Pusat dan dalam masa yang sama mengutamakan aspek kepenggunaan ECRL yang memberi keuntungan kepada rakyat. Dalam masa yang sama, ECERDC juga sedang mempertimbangkan cadangan daripada Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan pelabuhan kargo perindustrian sedia ada. Jaringan pengangkutan yang cekap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik saranan yang diberikan oleh Yang Berhormat Kemasik dan Yang Berhormat Bukit Besi berkenaan dengan cadangan untuk leverage dengan izin, perkembangan Revolusi Indsutri 4.0. Buat masa ini, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada pelaburan Pembangunan Sumber Manusia bagi mempersiapkan tenaga terlatih dan pakar dalam Revolusi 4.0.

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri telah menawarkan biasiswa Terengganu Sejahtera kepada pelajar di TATIUC untuk mengikuti pengajian bidang Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat. Selain daripada itu juga, pihak Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Terengganu Skills Enhancement Programme for School-Leavers (T-SEPS) yang akan menyediakan berbagai kursus teknikal kepada golongan belia. Ini akan menjadi asas kepada golongan belia daripada Negeri Terengganu dalam mempersiapkan diri mereka berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0. Saya juga mengambil peluang ini turut ingin mempromosikan Program Fourth International Conference On Engineering Technology anjuran TATIUC. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap perkembangan teknologi khususnya Revolusi Industri 4.0 di mana saya sendiri akan membentangkan ucaptama berkaitan dengan IR. 4.0.

Merujuk kepada soalan tambahan Yang Berhormat Tepoh dan Yang Berhormat Kuala Besut iaitu mengenai usaha menampung kekurangan hasil wang royalti sebanyak 25% yang dipotong. Terdapat empat langkah kontigensi yang akan dilakukan. Ianya adalah berkisar pada sebuah satu peribahasa melayu iaitu: ‘Dalam berselam, dangkal berjingkat’ yang bermaksud pendapatan sedikit itu dipada-padakan. Antara empat pelan kontigensi yang akan kita lakukan dalam berdepan dengan pemotongan 25% wang tunai petroleum daripada Kerajaan Persekutuan. Yang pertama, Kerajaan Negeri akan melaksanakan perbelanjaan berhemah, prudent spending dengan izin dengan kadar cost cutting yang sesuai terhadap program-program yang telah dijanjikan kepada rakyat tanpa berkompromi dari segi objektif yang ingin dicapai dari setiap program berkenaan. Yang kedua, Kerajaan Negeri akan menuntut hutang-hutang dari Kerajaan Persekutuan yang berjumlah kira-kira RM1.65 bilion. Yang ketiga, Kerajaan Negeri akan terus meneroka sumber baharu serta meningkatkan kecekapan kutipan hasil supaya ianya lebih efisien dan mampu untuk memperolehi tambahan sumber kepada Kerajaan Negeri.

Yang keempat, mengkaji semula kadar penggunaan air oleh syarikat utiliti dan penjualan air kepada negeri-negeri lain tanpa mengorbankan kepentingan air kepada rakyat Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, antara perkara yang hangat dan menarik minat Ahli-ahli Yang Berhormat berbahas sepanjang dua hari ini ialah mengenai agenda Penyatuan Ummah. Perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat yang membangkitkan agenda Penyatuan Ummah telah memberi satu gambaran bahawa Penyatuan Ummah, kerjasama ke arah kebaikan adalah suatu perkara yang sangat penting. Ini adalah berdasarkan kepada prinsip ta’awun sebagaimana yang disebut yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Maidah ayat ke – 2.

Yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa yakni maksiat dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya bagi sesiapa yang melanggar perintahNya.

Atas dasar kerjasama antara pihak Kerajaan dan rakan-rakan di hadapan saya iaitu atas dasar tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, inilah panduan dari sumber tertinggi yang dirujuk sepertimana yang terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu iaitu panduan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Kerjasama ini haruslah diterjemahkan di setiap peringkat bermula daripada pucuk pimpinan sehingga akar umbi. Perkara ini adalah merupakan satu agenda besar yang menuntut ke arah penelitian dan mekanisma tertentu untuk direalisasikan tanpa menafikan suasana puluhan tahun dahulu yang menjadi tempias terhadap komitmen yang ingin dijayakan. Maklumlah, pasangan yang baru kenal mengenal tentulah banyak perkara yang perlu difahami dan diharmonikan. Kerajaan Negeri sangat komited untuk melaksanakan secara beransur-ansur demi rakyat Terengganu dan menjunjung tinggi Titah Tuanku yang menyeru supaya ketepikan politik kepartian dan berilah keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri. Ini juga sebenarnya yang aspirasi daripada satu puisi yang bertajuk Puisi Pak Uteh, karangan Sasterawan Negara 2015, Datuk Dr. Zurinah Hassan yang ditulis pada tahun 1990. Yang menjelaskan tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan bagaimana peranan mereka yang dipilih oleh rakyat dalam menyelesaikan masalah rakyat. Izinkanlah saya membacakan sedikit, daripada Puisi Pak Uteh:

Pak Uteh, Pak Uteh 1954,

Punya satu isteri mahu dakap sampai mati,

Lima anak mahu makan setiap hari,

Teratak tua digayuti cerita pusaka,

Sebidang tanah tandus untuk huma,

Kulit tangan tegang belulang,

Biasa keluarkan peluh beberapa sahaja.

Oh Pak Uteh petani berjasa,

Tapi malaria senang menjenguk mereka,

Meski dalam sembahyang doa berjuta, dan

Mak Uteh biasa panggil dukun kampung

Lalu jampi mentera serapah berulang-ulang,

Betapa pak dukun dan bekalan pulang,

Wang dan ayam dara diikat bersilang.

Itu fasa pertama rakyat, fasa kedua kepada kita yang menjadi pentadbir dan dipilih oleh rakyat:

Di kota pemimpin berteriak-teriak,

Pilihan raya dan kemerdekaan rakyat,

Seribu kemakmuran dalam negara berdaulat,

Jambatan emas kemakmuran sampai ke akhirat.

Ketika kemenangan bersinar gemilang,

Pemimpin atas mobil maju ke depan,

Dadanya terbuka,

Ahhh!!! rakyat tercinta melambaikan tangan mereka.

Di mana-mana jamuan dan pesta makan,

Ayam panggang yang enak di depan,

Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran,

Pak Uteh masih menanti dengan doa,

Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pelbagai usaha yang praktikal ke arah merealisasikan hasrat bagi mencapai keharmonian di Negeri Terengganu. Sebab itulah, Kerajaan Negeri mengamalkan open door policy dengan izin, dan menjemput sesiapa sahaja terutamanya dalam kalangan rakan-rakan di sebelah sana untuk menyumbang idea kepakaran dan nasihat untuk pembangunan negeri yang dicintai ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan termasuk Ketua Pembangkang, ketua rakan di seberang sana dan rakan-rakan yang lainnya, yang turut sama memeriahkan Program Terengganu Inc, Classic Golf Amal Menteri Besar Terengganu 2019, sambil bermain dan membuat sumbangan amal, banyak perkara serius yang dibincangkan secara santai. Terima kasih banyak-banyak.

Mengenai keluhan rakan-rakan sebelah sana terutama dari Yang Berhormat Telemong dan Yang Berhormat Hulu Besut, Kerajaan Negeri sangat terkesan dengan potongan 25%, daripada royalti petroleum. Namun Kerajaan Negeri sekali-kali tidak akan mendiskriminasikan rakan-rakan disebelah sana. Sebagai contohnya, saya sendiri ketika pertemuan dengan Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyuarakan perkara yang berkaitan dengan penaikan taraf Stesen Bas Jerteh dan alhamdulillah hasil daripada perbincangan yang dilakukan oleh Kerajaan, di antara Kerajaan Negeri dan Yang Berhormat Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Zuraidah. Yang Berhormat Menteri telah meluluskan peruntukan komitmen awal sebanyak RM1 juta untuk menaiktaraf Stesen Bas Jerteh. Ini adalah salah satu contoh bagaimana inisiatif secara bersama yang boleh kita buat.

Akhirnya, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat yang berpartisipasi dalam perbahasan sepanjang Sidang DUN ini dijalankan. Moga-moga apa yang kita laksanakan ini, akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sekianlah saja. Wabillahi taufik wal hidaya., Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat berhormat Menteri Besar Wakil Rhu Redang atas penggulungan yang terakhir. Ahli Berhormat sekalian, alhamdulillah penggulungan dari pihak Kerajaan telah selesai, sekarang saya buka kepada undian -

Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.

USUL INI DITERIMA.

Alhamdulillah. Sebelum saya tangguh Persidangan kita ini, saya nak ingatkan Yang Berhormat petang esok 2.30 petang kita ada Pertandingan Menembak di Lapang Sasar Lembah Bidong, jadi minta Ahli Yang Berhormat bersama isteri ataupun mungkin, oh kejap ... isteri-isteri. Isteri sorang jer deh. Ini sebab menembak ni, bahaya dan diminta bawa pakaian yang sesuai.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang saya tangguh Persidangan Dewan sehingga ke hari esok, Khamis 4 April pada pukul 9.30 pagi. Marilah kita sama-sama kita tangguhkan dengan baca Tasbih Kafarah dan Surah Al ‘Asr.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 6.00 PETANG.