Dewan Rakyat · 10 March 2014
15th Parliament, session 2, meeting 1 · 13 turns · 2,589 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Ketiga Belas
Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen Yang Ketiga Belas, Penggal Kedua yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung. Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama. Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.50 pagi]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 11.00 pagi]
[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]
Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong — ALMU’TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH Bismillaahir Rahmaanir Rahiim Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wabihi Nasta’iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Dewan Negara dan Ahli-ahli Dewan Rakyat sekalian.Bill
Alhamdulillah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Parlimen Ketiga Belas. Di kesempatan ini, Beta dan Raja Permaisuri Agong bersama rakyat Malaysia amat prihatin terhadap insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370 Penerbangan Malaysia ke Beijing pada Sabtu, 8 Mac 2014 dan menzahirkan rasa simpati kepada penumpang-penumpang dan anak kapal pesawat tersebut serta keluarga mereka. Beta juga berharap agar ahli-ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat dapat bertenang dan tabah menerima ketentuan tersebut. Beta bersyukur di atas keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara selama ini dan berdoa agar nikmat ini dapat terus dikecapi. Beta sukacita Agenda Transformasi Negara sudah mula membuahkan hasil dan yakin ia akan membawa kemajuan dan kemakmuran yang mampan kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang. Beta percaya, dengan sokongan padu dan kerjasama yang erat antara pemimpin dan rakyat, pelbagai kejayaan akan terus dilakar oleh negara pada masa depan. Beta amat berbangga dengan peranan yang telah dimainkan oleh semua Ahli Yang Berhormat dalam mewakili suara rakyat melalui isu-isu yang telah dibawa dan dibahaskan secara berhemah di Dewan yang mulia ini. Berkat kerjasama dan semangat perpaduan di kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat, pelbagai rang undang-undang dan usul yang menyentuh kehidupan rakyat telah diluluskan dalam sidang Parlimen pada penggal yang lalu. Ini membuktikan kematangan sistem demokrasi negara dan kesediaan Kerajaan Beta untuk mendengar serta mempertimbangkan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak, demi kemakmuran negara. Ahli-ahli Yang Berhormat, dalam menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi, kesejahteraan hidup rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan. Kemakmuran tidak akan memberi makna jika masih ada golongan rakyat hidup dalam kesusahan. Justeru, Kerajaan Beta akan terus berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat. Ini termasuklah usaha mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup dan menangani kesan daripada pelaksanaan langkah-langkah transformasi ekonomi serta konsolidasi fiskal termasuk rasionalisasi subsidi secara berperingkat bagi memastikan negara terus berdaya saing. Subsidi pukal yang banyak ketirisannya perlu diganti dengan subsidi bersasar agar rakyat teramai dapat dibantu. Justeru, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk membantu meringankan beban rakyat, antaranya melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia, Bantuan Khas Awal Persekolahan dan Kedai Rakyat 1Malaysia. Manakala bagi Sabah dan Sarawak, program penyeragaman harga akan diteruskan. Beta menyeru agar Kerajaan memperbanyakkan lagi Kedai Rakyat 1Malaysia di seluruh negara dengan sekurang-kurangnya sebuah dibina di setiap kawasan Parlimen. Sektor swasta juga perlu lebih giat menawarkan produk dan perkhidmatan berkonsepkan 1Malaysia yang berkualiti pada harga yang rendah. Beta percaya dengan usaha-usaha ini secara berterusan dan bersepadu, kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat akan dapat diselesaikan secara holistik. Beta juga menyeru para peniaga supaya berlaku jujur dalam menjalankan perniagaan agar hasil yang diperoleh diberkati. Pada masa ini, hampir semua negara terpaksa berhadapan dengan cabaran daripada ketidaktentuan ekonomi global termasuk menyediakan pekerjaan kepada rakyat. Oleh itu, kita bersyukur kadar pengangguran di negara ini adalah rendah dan terkawal. Dalam hal ini, Beta menyeru Kerajaan agar mempertingkatkan usaha untuk mewujudkan lagi
pekerjaan bernilai tinggi yang bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti negara, malah menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat. Kemakmuran dan kemajuan hidup tidak akan bermakna jika negara terus menghadapi ancaman keselamatan. Beta menghargai peranan agensi-agensi keselamatan dan pertahanan serta awam melalui Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam mengembalikan keamanan di timur Sabah. Begitu juga usaha Kerajaan dalam pencegahan jenayah terutamanya jenayah berat dan terancang. Tahniah Beta ucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia di atas kejayaan Ops Cantas dalam mengurangkan jenayah kekerasan. Beta menyeru agar usaha untuk membasmi jenayah termasuk melalui penambahbaikan undang- undang dan peningkatan kecekapan dalam penguatkuasaan terus dipertingkatkan. Seperti termaklum, negara kita juga tidak terkecuali menerima kesan daripada perubahan iklim global yang mengakibatkan berlakunya peningkatan kejadian bencana alam seperti banjir dan cuaca panas serta kering. Beta berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk memastikan kualiti udara berada di tahap baik. Beta juga menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa-mangsa yang kehilangan ahli keluarga, pendapatan serta harta benda. Beta mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak Kerajaan dan semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan. Ahli-ahli Yang Berhormat, berdasarkan jangkaan ekonomi global yang beransur pulih serta aktiviti ekonomi domestik yang kekal cergas, Beta berharap pertumbuhan ekonomi akan lebih kukuh pada tahun 2014. Ke arah ini dan juga mengambil kira realiti keadaan ekonomi yang sentiasa berubah, Kerajaan Beta akan terus memberi perhatian dalam memperkukuhkan ekonomi dengan menggalakkan pelaburan berkualiti, memperluaskan pasaran, mengarus perdana sains, teknologi dan inovasi, mengunggul modal insan, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta melaksana perbelanjaan berhemat. Beta menyeru semua pihak bersikap realistik dan bersedia menghadapi persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar. Kerajaan Beta akan terus memperkukuh kedudukan kewangan dan memastikan kemapanan fiskal jangka panjang negara, antara lain melalui peluasan asas cukai dan penambahbaikan pentadbiran cukai. Ini termasuk pengenalan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April 2015. Sebagai persediaan, Beta menyeru kepada Kerajaan dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bersama-sama memberi kefahaman kepada rakyat mengenai pelaksanaan dan faedah GST yang bukannya cukai tambahan tetapi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada. Hasil usaha transformasi Kerajaan juga, kedudukan Malaysia telah dilonjakkan ke tangga keenam paling mesra perniagaan di dunia berbanding kedudukan kedua belas pada tahun sebelumnya seperti yang dilaporkan oleh Bank Dunia. Peningkatan ini akan terus meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelaburan pilihan. Ini adalah satu pengiktirafan kepada langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan terutamanya Perkhidmatan Awam dalam memudahkan urusan perniagaan. Beta berbangga dengan kemajuan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh yang sehingga 31 Disember 2013 mencapai kadar pelaksanaan sembilan puluh enam perpuluhan tujuh peratus. Beta berharap pelaksanaannya dapat dipercepatkan lagi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dan memberi manfaat kepada rakyat. Ahli-ahli Yang Berhormat, sebagai sebuah negara perdagangan, adalah penting Kerajaan terus meneroka pasaran-pasaran baharu untuk produk dan perkhidmatan. Bagi tujuan ini, Malaysia telah menandatangani pelbagai perjanjian perdagangan dan pelaburan di peringkat antarabangsa. Bagi setiap perjanjian ini, kepentingan rakyat dan negara tidak akan dikompromi dan sentiasa diutamakan. Namun, Malaysia perlu sentiasa berada di barisan hadapan dalam persaingan pasaran global dengan mewujudkan iklim pelaburan yang kondusif.
Dalam pada itu, Kerajaan Beta telah memperkenalkan Dasar Automotif Nasional 2014 yang bertujuan mewujudkan industri automotif tempatan yang lebih berdaya saing bagi menghadapi cabaran liberalisasi dan seterusnya membangunkan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga. Selain itu, dasar ini akan turut memberi faedah kepada peningkatan eksport, pemuliharaan alam sekitar, pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, pemindahan teknologi dan juga pewujudan peluang perniagaan baharu kepada syarikat-syarikat automotif tempatan. Pada masa yang sama, rakyat juga bakal menikmati penurunan harga kereta. Dengan pengiktirafan Malaysia sebagai antara sepuluh buah negara destinasi pelancongan dunia pada tahun 2014, Beta percaya penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2014 mampu memaksimumkan potensi industri pelancongan, berasaskan keunikan kebudayaan dan warisan masyarakat majmuk dan keindahan alam semula jadi negara. Justeru, Beta menyeru agar semua rakyat memainkan peranan demi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014 dan seterusnya bersama-sama meraikan Year Of Festivals 2015. Kerajaan Beta memandang serius mengenai kepentingan menjamin bekalan makanan yang mencukupi memandangkan sektor pertanian terdedah kepada kesan perubahan iklim dunia dan harga komoditi yang tidak menentu di pasaran global. Pendekatan holistik dalam membangunkan industri agro-makanan akan diteruskan. Selain itu, pembangunan sektor perladangan dan komoditi terus diberi tumpuan dengan meningkatkan kecekapan dan produktiviti di setiap peringkat rantaian nilai terutama bagi industri sawit dan getah, termasuk menghasilkan produk-produk berasaskan komoditi yang bernilai tambah tinggi dan bersifat mesra alam. Ahli-ahli Yang Berhormat, kerajaan Beta komited dalam memastikan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat bandar dan luar bandar, masyarakat Orang Asli serta kumpulan-kumpulan etnik peribumi di Sabah dan Sarawak terus dipertingkatkan. Justeru, usaha berterusan akan dilaksanakan bagi menyedia dan menaik taraf kemudahan infrastruktur asas di samping usaha-usaha mempelbagaikan aktiviti ekonomi seperti Pusat Transformasi Luar Bandar, Cabaran Perniagaan Luar Bandar dan Desa Lestari yang berupaya menjana pendapatan termasuk dalam bidang pertanian, industri kecil dan sederhana serta pelancongan desa. Bagi menangani isu-isu perbandaran, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk telah ditubuhkan untuk menyalurkan isu-isu kesejahteraan hidup penduduk bandar kepada agensi-agensi berkaitan. Kerajaan menyedari impian rakyat untuk memiliki rumah yang selesa pada harga berpatutan terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di bandar termasuk penjawat awam. Sehubungan ini, inisiatif-inisiatif seperti Program Perumahan Rakyat, Perumahan Rakyat 1Malaysia, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Rumah Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat terus dipergiatkan termasuk dengan penubuhan Majlis Perumahan Negara. Sistem pengangkutan yang cekap adalah penting kepada kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat di bandar mahupun luar bandar. Kerajaan Beta akan melaksanakan projek-projek pembangunan yang melibatkan pengangkutan darat, udara dan maritim. Beta percaya rungutan rakyat mengenai kesesakan lalu lintas dan kekangan akses pengangkutan awam di bandar-bandar besar akan dapat ditangani melalui pelaksanaan inisiatif mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di bandar. Keutamaan juga akan diberi kepada pembangunan rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak seperti Jalan Raya Pan Borneo dan jalan-jalan luar bandar. Ahli-ahli Yang Berhormat, kesejahteraan hidup amat berkait dengan persekitaran yang lestari, bersih dan sihat. Sehubungan ini, Beta amat mendukung usaha-usaha menjayakan teknologi hijau bagi mewujudkan persekitaran yang bebas daripada pencemaran. Di samping itu, taraf kesihatan rakyat akan terus diutamakan dengan menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dan kesihatan yang berkualiti pada kos yang berpatutan termasuk mewujudkan lebih banyak Klinik 1Malaysia. Dalam pada itu, program pendidikan kesihatan perlu dipertingkatkan untuk menggalakkan gaya hidup sihat bagi mengelak penyakit-penyakit kronik tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi. Sesungguhnya kadar obesiti di Malaysia yang kini paling tinggi di Asia Tenggara dan keenam tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik perlu diberi perhatian serius. Justeru, Beta juga menyambut baik konsep “sporting nation” atau negara bersukan yang
bukan sahaja dapat memupuk budaya bersukan di bawah inisiatif sukan untuk semua, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup sihat. Institusi keluarga terus diberi perhatian antaranya melalui penambahan Pusat Khidmat Keluarga Bergerak terutama di kawasan pedalaman. Di samping itu, langkah- langkah akan dipertingkatkan untuk membantu ibu tunggal selari dengan usaha memperkasakan kaum wanita dan orang kurang upaya, selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperjuangkan kesaksamaan hak dan peluang kepada semua golongan rakyat dalam arus pembangunan negara. Keamanan dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat pada hari ini umumnya adalah hasil usaha generasi terdahulu yang kini merupakan pesara atau warga emas. Beta juga menyeru agar Kerajaan mempertingkatkan usaha bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan warga emas melalui hari tua mereka secara aktif dan produktif serta diberi perlindungan dan penjagaan yang sempurna, jika mereka memerlukan. Beta juga percaya ramai golongan pesara mahu dan mampu menyumbang dalam membantu negara demi kesinambungan pembangunan yang telah dikecapi bersama dengan berkongsi pengalaman luas yang mereka miliki. Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Beta telah meletakkan asas untuk memperkasa sektor pendidikan melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara 2007 hingga 2020. Pelan ini bertujuan mencapai satu tahap kualiti sistem pendidikan yang setanding dengan negara lain yang berjaya dalam bidang pendidikan serta memenuhi keperluan modal insan, tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Dalam pada itu, pembangunan tenaga mahir dan peningkatan kreativiti dan inovasi di kalangan tenaga kerja dan peranan penting institusi- institusi latihan kemahiran terus dijadikan agenda utama bagi menampung keperluan industri negara. Generasi muda dan belia hari ini adalah cermin wajah negara pada masa hadapan dan merupakan aset penting dalam mencorakkan pembangunan serta kemakmuran negara. Beta berharap golongan belia akan terus didampingi melalui program pembangunan yang inklusif dan komprehensif berteraskan pendekatan dari belia untuk belia, yang meliputi aspek- aspek kepimpinan, kemahiran, keusahawanan dan kesukarelawanan. Golongan belia juga perlu ditanamkan dengan semangat patriotik dan dipupuk jiwanya agar cintakan negara. Ahli-ahli Yang Berhormat, Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu terus dimartabatkan. Kecelaruan pemikiran ummah dan ancaman akidah misalnya fahaman pluralisme serta penyebaran ajaran sesat hendaklah ditangani oleh pihak-pihak berkuasa agama selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di kalangan umat Islam di negara ini dan demi mengelakkan perpecahan ummah. Tindakan tegas mesti diambil ke atas anasir-anasir jahat yang cuba menyebar pemikiran dan tindak tanduk yang bertujuan meruntuhkan nilai-nilai serta keluhuran perlembagaan negara. Semua pihak perlu sedar akan peri pentingnya perpaduan dengan kembali kepada landasan sebenar asas-asas penubuhan negara ini seperti yang dihasratkan oleh para pemimpin terdahulu. Untuk tujuan memelihara keharmonian negara, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara untuk mencari kebersamaan dalam pelbagai isu agama dan etnik. Beta menyeru agar semua pihak mengelak daripada membuat sebarang kenyataan atau tindakan yang bersifat provokasi dan menyentuh sensitiviti mana- mana pihak. Ingatlah, apabila terurainya perpaduan, negara akan menuju kehancuran. Justeru, kita hendaklah mengukuhkan perpaduan dengan memupuk perasaan hormat- menghormati dan kesederhanaan dalam menjalani kehidupan. Dalam pada itu, kemajuan teknologi tanpa sempadan hendaklah digunakan dengan penuh tanggungjawab untuk memuliakan lagi peradaban manusia, bukan menghancurkannya. Sesebuah negara akan pantas menjadi maju apabila segala urusan perniagaan dan pentadbiran negara bersandar kepada prinsip akhlak, beretika dan mengamalkan integriti yang tinggi. Beta menyokong usaha-usaha Kerajaan meningkatkan ketelusan tadbir urus
antara lain melalui pemantapan konsep ketelusan dan pembanterasan rasuah yang mana hasilnya, negara telah memperoleh kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah 2013. Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan di peringkat Kerajaan dan swasta serta setiap rakyat untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Di arena antarabangsa, Malaysia bukan sahaja memainkan peranan penting dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya di rantau Asia Tenggara, malah turut menyumbang kepada penyelesaian di wilayah-wilayah yang sedang menghadapi krisis. Anggota-anggota keselamatan negara juga telah menyumbang kepada keamanan sejagat melalui penglibatan dalam misi-misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam semangat ini, Malaysia berusaha untuk memperoleh kerusi sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tempoh 2015 dan 2016. Di samping itu, Beta menaruh sepenuh kepercayaan bahawa Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN akan mampu menerajui usaha-usaha bagi merealisasikan Komuniti ASEAN 2015. Ahli-ahli Yang Berhormat, di kesempatan ini, Beta menyeru semua Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Laksanakanlah tugas dengan jujur, amanah, penuh dedikasi dan tanggungjawab. Sebagai wakil rakyat, Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik kepada rakyat dan sentiasa mengamalkan sifat-sifat terpuji terutama sepanjang berada dalam Dewan yang mulia ini. Kepada rakyat jelata terutamanya golongan belia, gunakanlah segala ruang dan peluang yang ada dengan bijaksana. Marilah kita bersama-sama berpadu tenaga melonjakkan negara ini menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam suasana aman, makmur dan sejahtera. Segala cabaran dan rintangan pasti dapat di atasi. Beta yakin melalui sokongan padu semua pihak, Kerajaan di bawah pimpinan Mamanda Perdana Menteri dan barisan Anggota Pentadbiran mampu merealisasikan segala perancangan yang direncanakan. Sebelum mengakhiri Titah, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang telah menyumbang ke arah keamanan, pembangunan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat. Akhir sekali, Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga negara yang tercinta ini akan terus maju dan dilimpahi rahmat dan nikmat yang berpanjangan dari Allah Subhanahu Wata’ala. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen ditangguhkan sekarang.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 11.47 pagi]
[Doa selamat dibaca oleh Sahibus Fadilah Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan] [Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan Majlis Parlimen]