Dewan Rakyat · 25 November 2021
15th Parliament, session 4, meeting 2 · 717 turns · 54,676 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]
Jawapan-Jawapan Menteri Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus [Hulu Langat] minta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan apakah kerajaan akan mengkaji semula status lokasi pangkalan- pangkalan TUDM yang kini berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta tidak strategik lagi seperti di Butterworth, Labuan dan Kuantan bagi mengelakkan kejadian yang tidak di diingini sekiranya jet pejuang terhempas kerap berlaku seperti nahas pesawat Hawk 108 yang baru terjadi pada 16 November 2021 lalu dan lain-lain insiden di pangkalan.
Silakan Menteri Kanan Pertahanan, menjawab dalam tempoh masa tiga minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum saya menjawab pertanyaan dari Yang Berhormat Hulu Langat, izinkan saya terlebih dahulu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy yang telah terkorban dalam nahas pesawat Hawk pada 16 November di Pangkalan Udara Butterworth. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham. [Membaca Al-Fatihah] Semoga Allahyarham ditempatkan dalam golongan orang yang soleh, insya-Allah. Begitu juga kepada Mejar Mohd Fareez bin Omar yang tercedera dalam nahas berkenaan, semoga Allah memberikan kesembuhan segera kepada beliau dan seterusnya dapat kembali semula untuk bertugas. Tuan Yang di-Pertua, menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Hulu Langat berkenaan mengkaji semula status lokasi pangkalan-pangkalan TUDM yang kini berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi. Untuk makluman Yang Berhormat, faktor keselamatan penerbangan di kesemua pangkalan TUDM telah mengambil kira kriteria keselamatan seperti keselamatan persekitaran landasan terbang, termasuk laluan berlepas dan juga mendarat. Kesemua landasan terbang di pangkalan-pangkalan TUDM juga mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, dengan izin, International Civil Aviation Organization (ICAO) yang diaudit secara berkala oleh pihak Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri. Walaupun berada dalam kepadatan penduduk yang tinggi, selagi ia menepati piawaian, maka tiada keperluan untuk pihak MINDEF dan ATM untuk memindahkan atau membuat keputusan drastik kedudukan pangkalan kem-kem TUDM yang sedia ada. Tambahan untuk makluman Yang Berhormat Hulu Langat, bagi kesemua operasi penerbangan pesawat TUDM, ia juga tertakluk mengikut standard prosedur dan piawaian keselamatan penerbangan yang amat ketat dengan tahap pematuhan yang tinggi sebelum sesuatu misi penerbangan dibenarkan untuk dilaksanakan.
Prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan kemahiran dan kompetensi, pertama. Kedua, prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelenggaraan dan kelayakan terbang (air worthiness), dengan izin, berdasarkan standard aviation authority dalam negara, mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh original equipment manufacture (OEM). Kesemua adalah merupakan procedure of operating standard (SOP) bagi operasi penerbangan pesawat, di samping piawaian ketat yang ditetapkan oleh ICAO bagi kesemua pangkalan TUDM. Insya-Allah pihak MINDEF dan ATM akan berusaha untuk menambah baik SOP-SOP dan langkah-langkah keselamatan yang sedia ada demi memastikan keselamatan anggota dapat dipertingkatkan. Insya-Allah.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan yang pertama, sila Yang Berhormat Hulu Langat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengajak kita pembuat-pembuat dasar untuk memastikan kita benar-benar serius dan benar-benar ikhlas untuk memastikan setiap sen yang kita belanjakan, yang kita luluskan di Dewan yang mulia ini dibelanjakan untuk kepentingan pertahanan negara tanpa ada rasuah, ketirisan, pecah amanah dan pembaziran. Kita mahukan keselamatan anggota tentera yang mempertaruhkan nyawa untuk negara dibekalkan dengan kemudahan yang berpatutan. Jangan seperti jet pejuang itu akan makan tuan atas keuzuran peralatan, sekiranya itu puncanya. Adapun kesilapan teknikal, ia merupakan sesuatu yang boleh sahaja berlaku di mana-mana. Soalan saya, apakah kerajaan ada perancangan untuk membina pangkalan TUDM yang baharu yang menempatkan jet pejuang di Pantai Timur Sabah seperti di Semporna atau Kunak? Ini memandangkan pusat bantuan operasi udara di Tawau itu tidak cukup. Sekarang ESSCOM sudah masuk lapan tahun perintah berkurung, pelancong-pelancong hendak menyelam dan tengok pulau-pulau cantik di sana. Sekurang-kurangnya kalau ada satu dua skuadron baharu jet-jet pejuang, maka takutlah lanun dan penculik untuk menjalankan operasi buruk mereka. Apatah lagi ada kedutaan asing asyik keluarkan amaran agar rakyat mereka tidak ke sana. Jadi soalan saya, apakah ada perancangan untuk membina pangkalan TUDM baharu di kawasan- kawasan tersebut, Yang Berhormat Menteri?
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat, sila Yang Berhormat Menteri. Dua minit 30 saat.
Terima kasih, soalan yang diutarakan tadi dua. Pertama daripada segi isu-isu perolehan. Saya sudah jawab masa perbahasan untuk belanjawan dan juga di RMKe-12, bahawa dalam proses kita- apa projek-projek yang terdahulu daripada ini yang perlu diselesaikan, lembaga-lembaga dan badan-badan siasatan telah pun menyiasat projek-projek yang lalu. Melihat ke hadapan, sememangnya saya sendiri telah memberi jaminan kepada Dewan ini bahawa ketirisan, penyalahgunaan kuasa, sekiranya ada unsur-unsur rasuah, maklumat yang diperolehi oleh Ahli Yang Berhormat, boleh dipanjangkan kepada saya. Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat bahawa dalam keadaan ekonomi hari ini, tidak ada keselesaan untuk memastikan bahawa aset-aset yang diperolehi selepas ini mesti memenuhi kehendak end user dengan izin, pihak ATM sendiri. Keduanya mempunyai peruntukan yang mencukupi dengan membincangkan perkara ini dengan Menteri Kewangan dan MOF dan proses perolehan yang dipertanggungjawabkan kepada MINDEF, insya-Allah. Isu kedua mengenai pangkalan di Sabah dan pangkalan-pangkalan baru. Saya sudah jawab sebelum ini dalam soalan asal tadi, ianya juga merangkumi perancangan kita di Sabah. Kalau sekiranya keperluan untuk memastikan keselamatan di Sabah, ianya tidak bersandarkan, tidak berkisar kepada pangkalan baru. Yang penting, yang kita tengah fikirkan di MINDEF dan di ATM ialah keperluan aset-aset dan gerak atur anggota-anggota
kita di Sabah supaya yang kita lakukan itu mencukupi untuk memastikan bahawa keselamatan di Sabah sentiasa terjamin. Ia tidak buat masa ini berkisar kepada pangkalan TUDM yang baru untuk ditempatkan di Sabah Yang Berhormat. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan kedua saya jemput, kena panggil di sebelah sini, Yang Berhormat Jerantut.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang diberikan. Berkenaan pesawat Hawk 108 atau Hawk 208, adakah kementerian berhasrat untuk menimbangkan penghentian penggunaan pesawat tersebut secara sistematik. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, berkenaan status terkini perolehan baru pesawat light combat aircraft atau fighter lead-in trainer dengan izin, LCA LIFT bagi menggantikan pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 MRRC yang dilihat perlu disegerakan perolehannya pada masa kini. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Jerantut. Sila Yang Berhormat Menteri Kanan.
Terima kasih Yang Berhormat Jerantut. Soalan tadi ada kaitan juga dengan pesawat-pesawat pejuang yang lebih besar tetapi menjawab apa yang ditanya oleh Yang Berhormat Jerantut berhubung kait dengan penghentian dan penggunaan baru Hawk 108 dan Hawk 208. Kerajaan telah pun merancang secara sistematik bagi penggantian pesawat Hawk 108 dan 208 sepertimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAT55). Kerajaan juga telah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baru fighter lead-in trainer, light combat aircraft seperti ditanya oleh Yang Berhormat tadi flip dan LCA melalui Rolling Plan 1 tahun 2021. Tender terbuka antarabangsa bagi perolehan ini telah pun ditutup pada 6 Oktober 2021 dan kini sedang di dalam proses penilaian. Jadi, mengenai pesawat-pesawat yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Jerantut, proses telah pun berjalan dan ini pun berada di dalam perancangan TUDM di bawah CAT55. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya hendak kena teruskan kerana terhad kepada satu soalan, 10 minit.
Bolehlah, bekas Menteri Pertahanan.
Tidak, saya hendak teruskan kepada pertanyaan yang kedua.
Boleh, boleh kah tidak?
Yang Berhormat, saya...
Oh! Tidak boleh sudah. Tidak apalah.
Saya jemput Yang Berhormat Sibuti.
2. Tuan Lukanisman bin Awang Sauni [Sibuti] minta Menteri Kewangan menyatakan dakwaan bahawa syarikat telekomunikasi tidak mahu mendaftar dengan DNB untuk menggunakan 5G kerana harga yang ditawarkan oleh DNB, yang dilihat beroperasi sebagai monopoli adalah terlalu tinggi. Malah sesetengah pihak juga mendakwa bahawa kos tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding kos syarikat telekomunikasi sekiranya mereka melaksanakan 5G sendiri.
Sila Yang Berhormat Menteri menjawabnya. Tempoh masa tiga minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelbagai isu telah dibangkitkan mengenai Digital Nasional Berhad (DNB) dan rangkaian 5G. Pihak kerajaan mengalu-alukan keprihatinan yang ditunjukkan oleh para Ahli Dewan ke atas pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB. Pihak kerajaan seperti Ahli-ahli Dewan juga mengharapkan pelaksanaan 5G dapat dilakukan dengan cekap dan lancar dan membawa manfaat kepada semua pihak berkepentingan. Ini adalah kerana 5G adalah pemboleh daya (enabler) untuk menambah baik kesejahteraan rakyat dan mempertingkatkan daya saing negara. Pada masa yang sama ia juga akan menggalakkan pelaburan berasaskan teknologi daripada luar negara ke negara ini. Tuan Yang di-Pertua, pandemik COVID-19 telah menunjukkan kepada kita betapa perlunya akses yang adil dan saksama kepada rangkaian berkelajuan tinggi, terutamanya di kawasan perkampungan dan pedalaman negara. Ini termasuklah liputan luas mampu milik bagi rakyat dari setiap lapisan masyarakat seiring dengan semangat Keluarga Malaysia. Sebagai contoh, saya percaya apa yang dilalui oleh pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin pada bulan Jun lepas masih segar di ingatan Ahli-ahli Yang Berhormat. Ternyata apa perlu ditekankan adalah berkaitan masalah capaian internet serta kemudahan asas lain khususnya di kawasan pedalaman. Selain daripada itu negara kita masih ketinggalan kerana belum melancarkan rangkaian 5G sendiri. Kita dapat melihat negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina telah pun berjaya melancarkan rangkaian 5G mereka seawal tahun 2019. Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum Untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih oleh SKMM yang kedua-duanya diterbitkan pada Disember 2019 menekankan betapa perlunya ketersediaan untuk melancarkan 5G melalui perancangan spektrum yang sesuai serta memastikan asas pembangunan 5G tersedia seawal mungkin supaya Malaysia dapat memanfaatkan kemajuan teknologi dan faedah ekonomi yang bakal diperolehi daripada 5G. Daripada menganugerahkan jalur spektrum 5G kepada pemegang lesen individu, laporan akhir SKMM menyokong pemberian jalur lebar ini kepada konsortium tunggal yang dibentuk di kalangan pemegang lesen. Walau bagaimanapun, disebabkan perbezaan kepentingan di kalangan operator rangkaian mudah alih, usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak berlaku seperti yang diharapkan. Memandangkan pentingnya connectivity dan ekonomi digital buat negara, kerajaan telah mengambil tindakan tegas pada bulan Februari tahun ini dengan mengumumkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital. Salah satu tindakan utama yang diambil oleh MyDigital adalah penubuhan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang dinamakan DNB melaksanakan 5G dengan lebih pantas dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia. Buat masa ini harga yang akan dikenakan kepada syarikat telekomunikasi oleh DNB masih diperhalusi dan sedang menunggu kelulusan daripada SKMM. SKMM sebagai pengawal selia akan memastikan harga yang ditetapkan adalah adil dan berteraskan pemulihan kos dan bukan untuk menjana keuntungan. Saya telah dimaklumkan bahawa proses penetapan harga 5G tersebut hampir dimuktamadkan dan ia amatlah berbeza dan jauh lebih rendah berbanding kos bagi setiap gigabait 4G oleh syarikat telekomunikasi. Saya juga difahamkan bahawa DNB akan mengenakan caj kurang dari RM0.20 sen bagi setiap GB ataupun gigabait untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi. Sebagai perbandingan ini adalah jauh lebih murah berbanding kos tambahan semasa bagi setiap GB 4G yang dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi dengan kadar antara 45 sen hingga 55 sen bagi setiap gigabait. Oleh itu, saya percaya syarikat telekomunikasi akan
menyambut baik penetapan harga tersebut apabila ianya dimaklumkan kepada mereka kelak.
Baik, soalan tambahan pertama. Sila Yang Berhormat
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Kewangan. Tadi Menteri Kewangan menyebut berkenaan tentang keperluan connectivity untuk semua dan mensejahterakan rakyat Malaysia. Jika DNB menjual harga borong 5G bagi setiap data GB pada harga yang jauh lebih rendah daripada kos 4G yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi sekarang, adakah harga perkhidmatan 5G kepada rakyat pada masa hadapan adalah kurang daripada kos penggunaan 4G sekarang.
Saya juga ingin mendapatkan pandangan Yang Berhormat, berapakah suntikan yang diberi oleh kerajaan bagi pengoperasian DNB bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Sila Yang Berhormat Menteri, dua minit.
Terima kasih. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jawapannya ya. Harga atau caj perkhidmatan 5G kepada rakyat pada masa hadapan dijangka jauh lebih rendah berbanding kos penggunaan 4G sekarang. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, DNB akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap gigabait untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi berbanding dengan kos tambahan ataupun incremental bagi setiap gigabait 4G yang dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi. Tambahan lagi, DNB akan melaksanakan rangkaian 5G melalui model rangkaian borong tunggal atau single wholesale network (SWN) bagi tujuan ini. Kerajaan sedar akan isu serta cabaran telekomunikasi SWN di negara lain dan telah mengambil langkah untuk memastikan kesilapan yang sama tidak berlaku di Malaysia. Melalui model ini, setiap syarikat telekomunikasi dijangka akan membayar DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang atau kira-kira purata RM350 juta hingga RM400 juta setahun. Ini adalah jauh lebih rendah daripada jumlah RM1 bilion iaitu perbelanjaan modal untuk 4G yang dilaburkan oleh syarikat telekomunikasi setiap tahun. Ini bermakna, mereka akan mendapatkan penjimatan lebih daripada 50 peratus dan penjimatan tersebut dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan atau pengguna. Pada masa yang sama, mereka juga masih boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham masing-masing. Selain daripada kos yang lebih rendah dan tanpa modal perbelanjaan yang ketara, syarikat telekomunikasi juga akan dapat menyampaikan perkhidmatan 5G lebih awal berbanding jika mereka cuba melancarkannya sendiri. Ini pastinya akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan. Secara keseluruhannya, perumpamaannya adalah seperti menggunakan satu lebuh raya besar yang tunggal untuk semua kenderaan yang pastinya memerlukan kos yang jauh lebih rendah kepada pemandu berbanding penggunaan lebih daripada satu lebuh raya kecil terutamanya jika lebuh raya pertama belum penuh kapasitinya untuk menampung kenderaan. Dari segi implikasi kewangan, syarikat telekomunikasi mungkin lebih mengutamakan pelaksanaan 5G yang tidak terbuka kepada semua pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO). Ini adalah kerana syarikat telekomunikasi dapat mengekalkan kedudukan mereka terutamanya dalam memastikan margin keuntungan terus terjamin. Sebaliknya, modal yang diguna pakai oleh DNB akan mendorong syarikat telekomunikasi untuk bersaing dari segi harga, produk dan perkhidmatan kerana mereka telah jimat dari segi modal penyediaan infrastruktur yang telah pun disediakan oleh DNB. Apa yang paling penting, rakyat akan dapat menikmati kelajuan yang dijangka 100 kali ganda lebih pantas dengan harga yang sangat berpatutan. Pada masa yang sama, syarikat telekomunikasi juga masih boleh mengekalkan kadar keuntungan mereka.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan yang kedua, saya jemput Yang Berhormat Bangi. Sila Yang Berhormat Bangi.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya tertumpu pada infrastruktur yang diperlukan untuk roll-out 5G ini. Ada pihak yang berpandangan bahawa pihak swasta lebih banyak pengalaman dan juga kepakaran untuk mengurus dan juga membina infrastruktur untuk 5G rollout ini. Jadi, soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri ialah apakah yang memberi keyakinan kepada Yang Berhormat Menteri bahawa DNB satu syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh MKD ataupun MoF Inc. ada kepakaran dan juga kebolehan untuk membuat 5G rollout ini dengan kadar dan kaedah yang lebih baik berbanding dengan sektor swasta. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bangi. Sila Yang Berhormat Menteri, dua minit 30 saat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Bangi, keraguan tersebut perlu disangkal. Ini adalah kerana jika kita mengimbau semula sejarah pembangunan negara, kita dapat melihat banyak syarikat yang dimiliki oleh kerajaan yang telah berjaya meletakkan Malaysia di persada dunia. Contoh yang terbaik adalah PETRONAS. Ditubuhkan sejak Ogos 1974 dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. PETRONAS telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk membangunkan dan menambah nilai kepada sumber-sumber minyak dan gas negara kita. PETRONAS sekarang ini telah berkembang sebagai syarikat minyak dan gas yang berkepentingan. Tambahan lagi, selain daripada PETRONAS, kita juga dapat melihat kejayaan syarikat-syarikat milik kerajaan...
Soalan bocor kah ini?
...seperti TNB dan Telekom Malaysia yang telah berjaya berkembang di dalam dan di luar negara. Oleh itu, saya ingin menekankan bahawa DNB juga berpeluang dan berpotensi untuk mengecap kejayaan seperti syarikat-syarikat milik kerajaan yang saya nyatakan tadi. Apa yang penting adalah tahap keupayaan tinggi dan profesionalisme di dalam pelaksanaan setiap pelan dan strategi. Saya akur ramai pihak yang telah menyatakan kegagalan modul SWN di negara-negara lain. Namun, ingin saya tekankan bahawa DNB telah ditubuhkan dengan teliti dan dianggotai oleh pakar yang paling berpengalaman dalam industri telekomunikasi. Kebolehan kerajaan melalui DNB perlu diberi peluang kerana satu hari nanti kita akan dapat membuktikan bahawa andaian mereka adalah kurang tepat dan Malaysia boleh berjaya dalam melaksanakan modal ini untuk 5G. Tuan Yang di-Pertua, untuk tempoh 10 tahun akan datang, pelaksanaan rangkaian 5G dijangka akan menjana RM21 bilion dalam aktiviti ekonomi secara langsung. Selain itu, sebuah kajian yang dijalankan oleh EY, menunjukkan penggunaan teknologi 5G mampu menghasilkan KDNK tambahan dalam lingkungan RM122 bilion pada tahun 2030 didorong oleh kemajuan dalam produktiviti dan kecekapan hasil penggunaan 5G oleh perniagaan dan industri. Peserta industri semasa akan memperoleh keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan. Dalam situasi ini, tidak ada kebimbangan bahawa pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB akan memberi kesan ke atas pelaburan atau pemain industri sedia ada kerana komitmen DNB adalah untuk berganding dan bukan bersaing dengan syarikat-syarikat telekomunikasi. Tambahan lagi, pelaksanaan 5G dijangka akan menyokong sehingga 15,000 pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian tersebut dan penciptaan kira-kira 148,000 pekerjaan di dalam ekonomi secara keseluruhannya di samping mendorong peralihan ekonomi.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengingatkan bahawa melakukan sesuatu adalah lebih baik daripada menabur janji. Walaupun DNB hanya ditubuhkan pada Februari tahun ini, saya yakin ia akan berjaya memastikan ketersediaan 5G kelak. Selain itu saya juga ingin menegaskan– ini poin saya yang terakhir, bahawa kos pelaksanaan rangkaian 5G ini akan dibiayai melalui gabungan pembiayaan tertunda kepada vendor, pembiayaan perdagangan dan modal kerja serta program sukuk yang akan diterbitkan dalam pasaran modal negara. Ia juga tidak akan melibatkan apa-apa jaminan atau pembiayaan daripada kerajaan untuk pelaksanaan projek ini terutamanya secara tidak langsung atau dengan izin, off-balance sheet. Tiada off-balance sheet, tak ada jaminan untuk pembiayaan untuk pelaksanaan ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. DNB akan mendapatkan pembiayaan tersebut seperti saya kata tadi melalui perkhidmatan kewangan seperti bank-bank dan ini akan dibayar semula melalui hasil jualan yang dijana daripada penjualan kapasiti secara borong. Akhir kata, saya serahlah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menilai sendiri di waktu ini sama ada DNB telah melancarkan perkhidmatan 5G dengan baik terutamanya untuk manfaat rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia. Sekian, terima kasih.
3. Tuan Wong Hon Wai [Bukit Bendera] minta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan status penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (The Regional Comprehensive Economic Partnership – RCEP) memandangkan RCEP akan berkuat kuasa secara rasmi menjelang 1 Januari 2022.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Bukit Bendera. Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau atau Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) akan berkuat kuasa 60 hari selepas sekurang-kurangnya enam negara anggota ASEAN dan tiga negara rakan FTA ASEAN menyerahkan surat cara ratifikasi atau instrument of ratification kepada Sekretariat ASEAN. Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-53 pada 9 September 2021, negara-negara anggota ASEAN telah menyasarkan tarikh kuat kuasa perjanjian RCEP pada 1 Januari 2022. Sehingga 2 November 2021, sebanyak 10 buah negara anggota iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, New Zealand dan Australia telah meratifikasi perjanjian RCEP. Berikutan perkembangan ini, negara anggota RCEP telah melengkapkan syarat minimum ratifikasi seperti yang saya nyatakan tadi, sekurang- kurangnya enam negara anggota ASEAN dan tiga negara rakan FTA ASEAN. Dengan ini, tarikh mula berkuat kuasa perjanjian RCEP adalah pada 1 Januari 2022. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan ini hanya terpakai ke atas 10 negara tersebut.
Bagi Malaysia, proses domestik untuk melengkapkan ratifikasi perjanjian RCEP memerlukan pindaan ke atas beberapa akta dan ini adalah bagi memastikan akta-akta berkenaan sejajar dengan obligasi negara di bawah perjanjian RCEP dan draf pindaan akta-akta ini sedang diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara. Setelah pindaan tersebut diluluskan, seterusnya Malaysia akan menyerahkan surat cara ratifikasi atau instrument of ratification kepada Sekretariat ASEAN. Sebagaimana yang termaktub di dalam perenggan 3 Artikel 20.6 Perjanjian RCEP, 60 hari selepas tarikh surat cara ratifikasi dihantar ke Sekretariat ASEAN, Perjanjian RCEP akan berkuatkuasa ke atas Malaysia. Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih. Soalan tambahan sila Yang Berhormat Bukit Bendera.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri. Saya dengar dengan jelas kronologi dan juga penjelasan oleh Yang Berhormat Menteri. Soalan saya, proses domestik perubahan undang-undang tersebut sama ada ia akan dilengkapkan pada bulan Disember tahun ini di Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara supaya sekurang-kurangnya Malaysia boleh menjadi negara ke-7 ASEAN untuk menyertai RCEP ataupun kita kena tangguhkan ke tahun depan, kita ketinggalan di belakang kemudian– itu bukan cara Malaysia bertindak. Malaysia has to be leading in front dan bukan di belakang negara-negara ASEAN yang lain seperti Brunei, Laos, Vietnam, Cambodia, Singapura dan Thailand. Soalan saya, sama ada ia akan dilengkapkan pada bulan Disember ini?
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bendera. Sila, Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih, Yang Berhormat Bukit Bendera. Untuk makluman Yang Berhormat, ketika ASEAN Summit lebih kurang dua minggu yang lalu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mewakili Malaysia telah pun memberikan komitmen kepada negara-negara anggota ASEAN bahawa Malaysia akan meratifikasi Perjanjian RCEP selewat-lewatnya pada hujung tahun ini. Justeru itu, kementerian yang berkenaan sedang berusaha dengan Jabatan Peguam Negara untuk menyemak, meneliti pindaan-pindaan dalam akta-akta yang berkenaan dan ia akan dibentangkan di dalam Parlimen pada bulan Disember ini untuk mendapat persetujuan Dewan sebelum Malaysia mengemukakan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN. Ini adalah komitmen kerajaan seperti yang ditegaskan oleh Yang Berhormat Bukit Bendera bahawa kita bersungguh-sungguh dan komited untuk meratifikasi perjanjian ini selewat-lewatnya bulan Disember tahun ini. Terima kasih, Yang Berhormat.
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Satu soalan 10 minit, ada masa tambahan. Saya jemput Yang Berhormat Beaufort.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, sekiranya negara kita terlambat untuk meratifikasi RCEP ini, adakah kemungkinan kita akan mengalami kerugian kerana kita tidak dapat terlibat dalam apa yang dilaksanakan nanti di bawah RCEP ini? Terima kasih.
Sila, Yang Berhormat Menteri Kanan, menjawab.
Terima kasih, Yang Berhormat Beaufort. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, antara kebaikan kita menyertai Perjanjian RCEP adalah untuk mendapat, supaya industri tempatan khususnya, mendapat manfaat menerusi perluasan akses produk-produk mereka ke pasaran antarabangsa RCEP. Khususnya dalam keadaan negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 ini, RCEP dilihat bakal menjadi satu pemangkin kepada pemulihan ekonomi dan ia dapat meningkatkan aktiviti-aktiviti perdagangan dan pelaburan di kalangan negara-negara peserta di dalam RCEP dan juga dapat memperkukuhkan rantaian nilai serantau. Untuk makluman Yang Berhormat Beaufort, berdasarkan penilaian MATRADE sekiranya kita dapat meratifikasi RCEP pada hujung tahun ini, nilai eksport dijangka akan bertambah sebanyak RM44 bilion setahun apabila RCEP berkuat kuasa. Keduanya, sudah tentulah seperti Yang Berhormat sedia maklum, kita akan menikmati tariff concession sebagai anggota RCEP sekiranya kita dapat meratifikasi pada hujung tahun ini. Jadi, saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat termasuk Yang Berhormat Bukit Bendera, kita mesti mengambil langkah yang berani dan bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia terus maju ke hadapan dengan memperkukuhkan rantaian bekalan di kalangan negara-negara anggota RCEP. Terima kasih, Yang Berhormat.
Satu, satu sahaja. Menteri, boleh minta satu soalan...
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Saya buka satu lagi soalan daripada Yang Berhormat Penampang.
Terima kasih.
Sila, Yang Berhormat Penampang. Menteri, ada satu lagi soalan...
Selamat pagi. Yang Berhormat Menteri..
Yang Berhormat Menteri, boleh? Ada masa 10 minit boleh.
Just a short one, Yang Berhormat Menteri. [Ketawa]
Memang boleh, boleh.
Terima kasih. Berkenaan dengan RCEP tetapi entry oleh United Kingdom sebagai dialogue partner di ASEAN baru-baru ini, adakah Malaysia akan, dengan izin. Will Malaysia encourage United Kingdom as well to be part and parcel of the RCEP as we try to ratify our RCEP entry? Thank you.
Terima kasih, Yang Berhormat Penampang.
Terima kasih, Yang Berhormat Penampang. Ya, benar United Kingdom telah pun mengemukakan permohonan untuk menjadi rakan dialog kepada ASEAN dan dalam ASEAN Summit baru-baru ini, buat kali pertama United Kingdom menyertai perbincangan secara aktif dan Malaysia telah mengambil pendirian menyambut baik hasrat United Kingdom untuk menjadi rakan dialog ASEAN dan ini satu perkembangan yang baik untuk kita teruskan usaha menjadi rakan dagang yang penting di antara ASEAN, Malaysia dan juga United Kingdom. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, United Kingdom juga pada awal tahun ini telah mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota CPTPP dan kita telah pun membentuk Accession Working Group (AWG) pada pertengahan tahun ini untuk meneliti terma-terma kemasukan United Kingdom ke dalam CPTPP. Namun seperti yang saya nyatakan dalam Parlimen pada minggu lepas, oleh sebab kita belum meratifikasi CPTPP, Malaysia hanya diberi taraf observer atau pemerhati dan kita tidak dapat menyertai AWG bagi menentukan terma-terma kemasukan United Kingdom ke dalam CPTPP. Jadi perkara ini juga sedang diperhalusi supaya Malaysia mendapat manfaat daripada perjanjian-perjanjian perdagangan bebas ini untuk kepentingan negara di masa yang akan datang. Terima kasih, Yang Berhormat.
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri pada hari ini. Terima kasih, Ahli-ahli Yang Berhormat. [Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Dato’ Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim [Batang Lupar] minta Perdana Menteri menyatakan bagaimanakah konsep Keluarga Malaysia dapat diterjemahkan menerusi dasar dan pelaksanaan yang dirangka kerajaan agar tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti tetapi meliputi semua lapisan kaum dan bangsa.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, konsep dan falsafah Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Kesembilan dalam ucapan sulung beliau pada 22 Ogos 2021. Konsep Keluarga Malaysia diambil kerana ia lebih bersifat inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Sebagai satu Keluarga Malaysia kita saling melengkapi dan disambut oleh semua lapisan masyarakat. Konsep Keluarga Malaysia mempunyai tiga nilai utama iaitu inclusivity atau keterangkuman antaranya menyemai budaya integriti. Kedua, kebersamaan iaitu antaranya memupuk semangat kekeluargaan dan kesyukuran iaitu membudayakan amalan sifat daripada segi rohani, mental dan fizikal. Semua nilai ini adalah nilai sejagat yang diserapkan dalam setiap dasar, rancangan dan pelaksanaan program yang dibuat oleh setiap kementerian, jabatan dan agensi. Nilai inclusivity, kebersamaan dan kesyukuran Keluarga Malaysia ini menjadi teras dalam menjayakan Rancangan Malaysia Kedua Belas yang dirangka dengan mengambil kira semua lapisan umur, kesaksamaan gender, wilayah, taraf ekonomi dan kaum. Sememangnya konsep Keluarga Malaysia Yang Berhormat, tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti malah kepada semua kaum. Ini jelas dengan usaha-usaha kerajaan yang merangkumi dan juga menyediakan pelbagai bantuan prihatin rakyat, merangkumi aspek kebajikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur bagi menyejahterakan hidup rakyat dan memastikan pemulihan ekonomi negara berjaya.
Sehubungan dengan itu, konsep Keluarga Malaysia ini diterjemahkan dalam penggubalan dasar kerajaan yang menggariskan perancangan strategik secara komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada sesiapa tertinggal dalam mengacapi nikmat pembangunan negara. Konsep Keluarga Malaysia juga adalah satu aspirasi jangka panjang bagi melahirkan sebuah Keluarga Malaysia yang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi berlandaskan petunjuk prestasi utama KPI Jemaah Menteri dan Keberhasilan Kebahagiaan (KHO) kerajaan. Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, krisis berkembar iaitu krisis ekonomi dan krisis kesihatan telah menyediakan peluang kepada kita untuk merencanakan semula Pelan Pembangunan Negara untuk semua kaum bagi membolehkan kekayaan negara dinikmati seluruh Keluarga Malaysia dengan adil dan saksama. Pegangan kerajaan untuk menerapkan falsafah Keluarga Malaysia dalam penggubalan setiap polisi yang dirancang adalah bagi memastikan matlamat akhir untuk menang bersama tercapai dan tiada yang ditinggalkan dalam perjalanan pembangunan negara sama ada daripada segi pemulihan ekonomi ataupun kesihatan. Terima kasih.
Sila Yang Berhormat Batang Lupar, soalan tambahan pertama.
Terima kasih. Soalan tambahan saya, apakah program-program berimpak tinggi yang dirancang bagi
menerapkan konsep Keluarga Malaysia ke akar umbi agar benar-benar difahami rakyat dan tidak hanya sekadar sebuah cogan kata yang dilaung-laungkan? Terima kasih.
Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Satu soalan yang sangat menepati dengan usaha- usaha kita yang kita sedang usahakan sekarang ini. Antara program-program Yang Berhormat yang kita sedang laksanakan dan akan dilaksanakan yang dekat dengan akar umbi adalah pertama, penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia yang memberi atau menguruskan pemberian bantuan kewangan dan kebajikan atau pendidikan kepada kanak-kanak atau remaja yang kehilangan ibu dan bapa atau penjaga atau kedua-duanya akibat pandemik COVID-19, kemalangan dan lain-lain bencana seumpamanya sehingga mereka mencapai umur 18 tahun. Kedua, program lain adalah mengenal pasti program, produk dan aktiviti di semua kementerian yang menepati inti pati Keluarga Malaysia seperti: (i) Residensi Keluarga Malaysia; (ii) Pusat Mediasi Komuniti Keluarga Malaysia; dan (iii) Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia. Ketiga, Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari yang telah dilaksanakan seperti laporan akhir oleh setiap Menteri Kabinet pada 24 November 2021 semalam. Selepas itu, kita ada Showcase Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan diadakan daripada 9 hingga 12 Disember 2021 yang akan menekan kepada pembukaan peluang-peluang pekerjaan, pelajaran dan bantuan kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan. Kita akan ada Bulan Keluarga Malaysia, Citrawarna Keluarga Malaysia dan Jelajah Keluarga Malaysia di mana kita akan membawa semua usaha kementerian ini ke seluruh negara dalam masa terdekat. Akhir sekali, penubuhan Skuad Keluarga Malaysia yang mana ia merupakan program berbentuk perdampingan sosial dan social outreach dengan pelaksanaan pengurusan bantuan-bantuan kerajaan, kaunter perkhidmatan dan aduan, intervensi dan rujukan awal agensi, pengurusan bencana, pengurusan bakul makanan, ziarah prihatin dan advokasi perundangan dan perkhidmatan. Itu sahaja buat masa ini Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan kedua, sila Yang Berhormat Kubang Pasu.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya ialah konsep Keluarga Malaysia ini perlu bermula dalam Dewan ini. Okeylah kita bercakap tentang di luar dan sebagainya. Ia perlu bermula dalam Dewan. Maksud saya begini, kalau sekiranya wakil-wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka dalam Dewan ini haruslah diberikan layanan yang sama rata. Kalau diberikan peruntukan, biarlah peruntukan itu diberi kepada semua. Barulah konsep Keluarga Malaysia itu dapat kita laksanakan. Saya ingat Yang Berhormat sendiri pun telah sebut dalam Dewan, kita berjumpa di luar secara tidak formal— sebut akan diberi kepada semua tetapi hakikatnya tidak berlaku. Jadi saya hendak tanya, apakah sebenarnya pendirian kerajaan terhadap peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada semua wakil rakyat dengan secara sama rata? Barulah ia memenuhi konsep Keluarga Malaysia seperti yang diuar-uarkan. Terima kasih. [Tepuk]
Terima kasih Yang Berhormat Kubang Pasu. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Yang Berhormat Kubang Pasu, terima kasih atas soalan itu. Ya, betul saya ada menyebut dalam Dewan ini mengenai memberi kepada semua wakil rakyat yang ada— kesemua Ahli Parlimen. Kalau Yang Berhormat meneliti dan saya juga bersetuju bahawa segala apa yang baik dan murni harus bermula daripada Dewan ini. Kalau Yang Berhormat meneliti semula jawapan saya, saya ada menyebut mengenai komitmen Yang Berhormat untuk melaksanakan pelaksanaan untuk memurnikan lagi ataupun mempunyai satu pembaharuan dalam usaha-usaha perjalanan di antara Ahli-ahli Parlimen yang berada dalam Parlimen ini. Jadi, ia mengambil kira sekiranya ada usaha-usaha untuk memurnikan lagi. Ia berkaitan dengan CSA yang telah ditandatangani. Jadi dalam CSA tersebut, kita harus menjadi ahli. Kita tidak sebut MoU lagi Yang Berhormat, kita sebut CSA ya.
MoU bukan CSA.
Kita harus menjadi ahli atau sebahagian daripada perjanjian tersebut. Di situlah peruntukan itu akan disalurkan. Jadi, saya difahamkan dan saya juga ada menjawab soalan-soalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Muar mengenai perkara ini.
Bagi kah atau tidak mahu bagi, cakap sahajalah.
[Dewan riuh]
Yang Berhormat, saya baru sebut tadi.
Adakah rakyat mereka itu bukan Keluarga Malaysia?
[Dewan riuh]
Yang Berhormat, walaupun tidak diberi peruntukan...
Ini soal rakyat, bukan soal Ahli Parlimen bagi saya.
Yang Berhormat.
Ini bukan soal Ahli Parlimen. Setakat mai bagi baju dekat kami, ini baju ini. [Sehelai baju ditunjukkan] Setakat bagi baju hendak buat apa?
[Dewan riuh]
[Ketawa]
Pakai topi, pakai topi.
Sekejap Yang Berhormat, biar saya jawab.
Bagi topi, bagi baju, buat lap kedai mamak pun boleh.
Syukurlah dapat baju pun.
Yang Berhormat, walaupun buat masa ini peruntukan itu...
Pembangkang pun panik.
...peruntukan itu belum lagi diberi tetapi Yang Berhormat mesti tahu juga bahawa peruntukan-peruntukan lain melalui agensi dan jabatan di peringkat Parlimen Yang Berhormat disalurkan juga, tidak ditinggalkan pun. Reformasi Parlimen Yang Berhormat adalah kita bersama-sama memikirkan bagaimana untuk meletakkan usaha-usaha untuk rakyat itu lebih daripada pertikaian politik yang ada dalam Parlimen Yang Berhormat.
Jangan retoriklah.
Yang Berhormat Timbalan Menteri, masa sudah tamat.
Kabinet boleh lulus untuk RM100 juta. [Pembesar suara dimatikan]
Yang Berhormat Timbalan Menteri masa sudah tamat, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Yang Berhormat, sama- samalah kita berusaha untuk reformasikan Parlimen ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya teruskan kepada dengan menjemput Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Port Dickson.
2. Dato' Seri Anwar bin Ibrahim [Port Dickson] minta Perdana Menteri menyatakan status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) dan perkara-perkara yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan.
Tuan Yang di-Pertua, jawapannya amat menyeluruh dan panjang. Minta beri laluan panjang sedikit untuk saya membaca.
Tidak terlalu panjang.
Oleh sebab dia very technical, kalau dipotong tidak ada makna. Tuan Yang di-Pertua menjawab soalan daripada Yang Berhormat Port Dickson. Sebagaimana yang Ahli Yang Berhormat sedia maklum, bahawa satu Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan telah ditandatangani pada 13 September. Saya merakam ucapan terima kasih kepada pihak Pakatan Harapan dan semua Ahli Parlimen yang menjayakan memorandum persefahaman tersebut. Status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dan perkara-perkara yang dipersetujui bagi bidang yang berikut iaitu Transformasi Pentadbiran Pembaharuan Parlimen (Parliamentary Reform), Kebebasan Kehakiman dan Perjanjian Malaysia 63. Bagi perkara-perkara di bawah bidang transformasi pentadbiran adalah penggubalan perundangan Anti-Lompat Parti, sejumlah Jemaah Menteri pada 17 September 2021 telah memutuskan supaya perkara ini perlu disegerakan kerajaan. Pihak BHEUU dan JPM telah mengadakan satu perbincangan pada 30 September 2021 bersama Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain, termasuk SPR untuk membincang persoalan dasar yang timbul daripada pelaksanaan cadangan ini.
Ketiga, mesyuarat persetujuan bahawa perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti, terutamanya parameter, kandungan dan implikasi akta ini. Perkara ini sedang dilaksanakan oleh BHEUU bersama AGC dan SPR. Dapatan awal (preliminary findings), dengan izin, berkaitan perkara ini akan dikemukakan kepada saya pada hujung bulan November ini. Dalam masa itu, satu perjumpaan akan diadakan bersama ketua parti pada bulan Disember 2021 untuk mendapat pandangan berkaitan dengan cadangan dikemukakan untuk memaklumkan pendirian kerajaan berkaitan undang-undang anti lompat parti.
Satu kajian soal selidik telah dibangunkan oleh BHEUU, JPM bagi mendapat pandangan dari Ahli-ahli Parlimen, orang-orang awam berkaitan dengan lompat parti. Soalan selidik boleh dijawab oleh orang awam dan Ahli Parlimen mulai 23 November hingga 7 Disember 2022. Dapatan daripada kajian ini boleh membantu dalam mendapat pandangan orang ramai dan Ahli Parlimen meneliti berkaitan isu lompat parti. Keempat, Jawatankuasa Pemandu Transformasi Kestabilan Politik telah diberi taklimat pada 24 hari bulan iaitu semalam oleh Peguam Negara berkaitan perkara ini. Satu kerangka rang undang-undang telah disediakan tetapi masih terdapat banyak persoalan dasar yang tidak dapat dijawab. Oleh itu, sebuah Jawatankuasa Teknikal akan ditubuhkan dengan keahlian tiga daripada Pakatan Harapan dan tiga orang daripada kerajaan bagi meneliti persoalan-persoalan ini dan kerangka tersebut adalah berstatus embargo. Jadi, saya tidak berhak untuk menunjukkan kerangka itu, Tuan Yang di-Pertua. Kedua, melaksanakan pendaftar umur minimum pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, termasuk pengecualian kepada raja memerintah, waris takhta dan Tuan Yang di-Pertua Negeri, bersekali dengan pasangan masing-masing. Pertama, pihak SPR sedang mengambil tindakan segera untuk melaksanakan pendaftaran umur minimum pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik. Ini adalah selaras dengan keputusan mahkamah supaya melaksanakan sebelum 31 Disember 2021. Selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September 2021. SPR pun melaksanakan pindaan pada Peraturan Pilihan Raya, Pendaftaran Pemilih 2022 dan undang-undang lain yang berkaitan. Penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dan penyediaan sistem serta infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik. Ketiga, SPR telah membuat pembentangan di Mesyuarat Jemaah Menteri dan pembentangan di Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri telah dibuat pada 23 November 2021. Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang- undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil. Keempat, cadangan pengecualian pelaksanaan pengundian 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik kepada Raja memerintah, waris takhta dan Tuan Yang di-Pertua Negeri bersekali dengan pasangan masing-masing perlu mendapat pandangan dari kerajaan negeri, BHEUU dan JPN sedang mengumpul maklumat tersebut. Ketiga, pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun. Mesyuarat telah diadakan pada 30 September juga melibatkan BHEUU, Jabatan Peguam Negara dan pihak lain berkepentingan untuk berbincang persoalan dasar. Timbul daripada pelaksanaan cadangan ini, mesyuarat bersetuju bahawa perkara ini perlu dikaji dengan teliti, terutama parameter dan kandungan implikasi pindaan tersebut. BHEUU bersama Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain akan mengkaji perkara ini dan dapat preliminary findings akan dikemukakan pada saya juga pada hujung bulan November ini. Ketiga, soal selidik sedia ada mendapatkan pandangan orang awam berkaitan dengan isu perkhidmatan Perdana Menteri. Soalan selidik ini telah dimuat naik di portal BHEUU dan telah dikemukakan kepada agensi kerajaan, CSO dan NGO untuk pandangan awam. Soal selidik ini boleh dijawab daripada 24 November hingga 8 Disember. Dapatan daripada kajian soal selidik ini dapat membantu dalam mendapat pandangan orang awam berkaitan cadangan pengehadan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun. Semasa taklimat Peguam Negara di Mesyuarat Pemandu Transformasi iaitu Steering Committee Kestabilan Politik semalam didapati juga masih terdapat persoalan- persoalan dasar yang tidak dapat dijawab. Oleh itu, Jawatankuasa Teknikal ada disebut di atas tadi akan turut mengkaji persoalan ini bersekali. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman bagi perkara berkaitan dengan undi 18. Pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik yang akan dilaksanakan sebelum 31
Disember 2021 adalah berdasarkan kepada keputusan Jemaah Menteri, selaras dengan keputusan Mahkamah Kuching. Bagi perundangan anti lompat parti dan pengehadan tempoh bagi Perdana Menteri 10 tahun, perlu kajian sesi libat urus yang terperinci dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Oleh itu, kedua-dua perkara ini dicadangkan dibawa ke Parlimen sebelum bulan Julai 2021, timeline ia, Yang Berhormat. Bagi perkara di bawah pembaharuan Parlimen, Parliamentary transformation adalah membentangkan kelulusan undang-undang berkaitan dengan perkhidmatan Parlimen dan Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2021. Dalam perbincangan telah diadakan oleh Parlimen Malaysia bagi meneliti Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen 2022 telah disemak oleh Jabatan Peguam Negara. Draf akan dikemas kini dan ditambah baik susulan perbincangan libat urus bersama agensi berkaitan. Sesi perbincangan libat urus akan diadakan bersama JPA, Tuan Yang di-Pertua. Oleh sebab kita hendak asingkan perkhidmatan dan oleh sebab kita hendak turunkan kewangan daripada consolidated fund terus kepada pihak Parlimen dan agensi berkaitan untuk pencen. Pencen itu kena dibincangkan dengan pihak KWSP juga. Berkaitan yang lain dengan membincangkan keadaan penubuhan perkhidmatan Parlimen serta isu-isu berkenaan jawatan dan kewangan. Pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) juga sedang diteliti pada masa yang sama. Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen 2022 dan Rang Undang-undang Majlis Parlimen Pindaan 2022 dijangka akan dibentangkan di Mesyuarat Pertama pada bulan Mac 2022, timeline ia, Yang Berhormat. Kelima, penstrukturan Jawatankuasa Parlimen Khas yang sedia ada. Menambah baik Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengikut keperluan dengan Jawatankuasa bagi kedua-dua Dewan menetapkan terma rujukan dan fungsi bidang kuasa. Usul dan penyata berhubung dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober dengan penubuhan JKPTHEA akan- 10... [Tidak jelas] ditubuhkan. Cadangan untuk menjadikan kesemua 10 buah Jawatankuasa ini sebagai Departmental Committee ini telah dibincangkan dan telah diluluskan oleh pihak Kabinet dan sekarang kita hendak bawa ke Jawatankuasa Dewan. Jika dipersetujui oleh Jawatankuasa Dewan, peraturan akan dipinda untuk menyelaraskan pelaksanaannya. Dengan itu nanti, ia bukan lagi ada had dan ada terma yang tetap di dalam buku Peraturan Dewan. Memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas adalah lebih berseimbang. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang pertama menganggotai JPK ditambah 7 orang Ahli berserta pengerusi, kepada ke-9 orang Ahli serta pengerusi. Kedua, komposisi Ahli Jawatankuasa juga distrukturkan semula daripada 5 orang Ahli kerajaan dan 2 orang Ahli daripada pembangkang, kepada 5 orang Ahli kerajaan dan 4 orang Ahli pembangkang. Usul Penyata Jawatankuasa Dewan mengenai penubuhan komposisi dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2021. Keempat, Penyata Jawatankuasa Pemilih berhubung pertambahan dan pengubah komposisi Ahli dalam JPK akan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat pada 12 Oktober 2021. Melaksanakan pindaan yang perlu kepada peraturan mesyuarat (standing order). Pindaan terhadap Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dilakukan bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas dan JKPK mengadakan Mesyuarat secara terbuka ataupun hibrid (online) bagi tujuan membenarkan pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan secara terbuka dan persatuan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan Kuasa) 1952 perlu dipinda. Ketiga, satu Memorandum Jemaah Menteri disediakan untuk pindaan ini sedang dalam proses mendapatkan ulasan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Kerajaan, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.
Keempat, jika diluluskan prosiding, semua Jawatankuasa Pilihan Khas akan diadakan secara terbuka di mana siaran langsung prosiding tersebut boleh dilihat di saluran TV di Parlimen. Lapan bagi perkara yang di bawah bidang kebebasan kehakiman adalah bagi memastikan terlaksananya sepanjang masa kebebasan badan kehakiman, transformasi institusi dan tata kelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara. Pindaan Perlembagaan bagi perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 adalah termasuk pindaan kepada fasal (2), Perkara 1, Perlembagaan, tafsiran Federation di bawah fasal (2), Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan yang (c) tafsiran baharu Malaysia Day di bawah fasal (2), Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan perenggan (a), fasal (6) dan fasal (7), Perkara 161A, Perlembagaan Persekutuan. Saya bersama Menteri Hal Ehwal Sarawak telah pun melaksanakan libat urus bersama pihak Kerajaan Negeri Sabah pada 2 Oktober dan juga mengadakan libat urus bersama Kerajaan Negeri Sarawak pada 15 Oktober. Kedua, saya juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara 7 pada 7 Oktober dan mengadakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat Pembangkang pada 12 Oktober. Ketiga, Mesyuarat Jawatankuasa Rakan Sekutu telah diadakan pada 11 Oktober dan perkara berkaitan pindaan Perlembagaan akan dibentangkan semasa Mesyuarat Majlis Perjanjian Malaysia 1963 iaitu dijangka pada 14 Oktober tetapi masih ada tawar menawar dan belum ditetapkan lagi Yang Berhormat. Seterusnya perkara ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Oktober. Bacaan Pertama Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan Dewan Rakyat telah dibuat pada 3 November dan Bacaan Kedua dijadualkan pada bulan Disember 2021. Tuan Yang di-Pertua, kesemua perkara yang dikatakan adalah status terkini perlaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi Kestabilan Politik. Kerajaan sentiasa komited menunaikan perkara yang dipersetujukan bersama. Terima kasih.
Ya soalan tambahan pertama, Yang Berhormat Port Dickson.
Terima kasih. Memandangkan penjelasan itu panjang, saya beri sedikit penegasan dan penjelasan. Ini kerana seperti mana Yang Berhormat Menteri maklum dan saya ucap terima kasih kerana komitmen Yang Berhormat Menteri dalam hal ini. Juga beberapa pertemuan dengan pimpinan Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, juga jawatankuasa yang terus mengadakan perbincangan. Akan tetapi kekeliruan di pihak kerajaan masih ada. Tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri menyebut CSA, ada perbezaan di situ. Ini kerana dalam memorandum persefahaman ini ditulis bahawa, “Memorandum ini masih pertahankan hak dan tanggungjawab Pakatan Harapan untuk menyemak imbang, mengawasi, meneliti dan memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada Parlimen termasuk memastikan ketelusan, integriti dan keberkesanan kerajaan dalam mengendalikan isu-isu rakyat”. Oleh sebab itu kita sebut ini sebagai memorandum persefahaman. Dibangkitkan juga tentang peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen. Saya hendak bezakan walaupun memorandum persefahaman ini terikat dengan memorandum, saya selaku Ketua Pembangkang secara konsisten dari awal memang memohon supaya peruntukan sama diberikan kepada semua pembangkang. [Tepuk] Walaupun tidak terikat dengan memorandum ini kerana tidak dipersetujui oleh pihak kerajaan. Keduanya, ada kemajuan yang ketara. Saya setuju dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tentang Reformasi Parlimen terutama jawatankuasa pilihan dengan peruntukan kuasa yang akan ditambah. Ini kerana setakat
ini, seperti mana kita tahu, ia tidak ada kuasa memanggil dan sebagainya. Ini Menteri telah beri jaminan untuk diteliti. Perjanjian Malaysia 1963. Ini di antara perkara yang utama ditekankan dalam memorandum dan kita mahu supaya ia diluluskan dalam sesi ini. [Tepuk] Saya mendapat jaminan daripada Yang Berhormat Menteri dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa akan diusahakan sebaik mungkin. Begitu juga Undi 18, ada beberapa masalah teknikal tentang kedudukan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja. Ini pun, soal teknikal ini tidak boleh dilengahkan. Maknanya harus diluluskan pada sesi ini juga, bermakna pada bulan Disember. [Tepuk] Saya faham, Yang Berhormat Menteri menyebut tentang beberapa permasalahan terkait dengan Undang-undang Antilompat Parti. Memang ada tiga orang wakil daripada pihak Pakatan Harapan dan kerajaan akan bekerjasama untuk menyegerakan, walaupun saya faham ia tidak dapat diluluskan dalam sesi ini kerana drafnya itu belum selesai. Saya juga mengambil kesempatan ini ingin menyebut bahawa dalam libat urus dengan Yang Berhormat Menteri Kewangan, ada hal-hal yang dibawa oleh Pakatan Harapan iaitu, RM45 bilion tambahan untuk COVID-19, RM10 bilion untuk Tabung Kemiskinan, langsung kepada rakyat miskin yang juga telah disampaikan dan moratorium bank. Dengan ini, kita mendesak hal ini tidak boleh ditolak ansur, saya ucap terima kasih. Permasalahan yang paling besar pada kita ialah masalah tata kelola yang juga dimasukkan di sini iaitu kebebasan institusi kehakiman. Ini yang amat memprihatinkan. Ada bezanya, belum kita hanya ada memorandum persefahaman dan kita mencapai kemajuan setakat ini. Ini berbeza dengan beberapa parti bersekutu dalam kerajaan yang tidak menggesa dan melaksanakan apa-apa selain daripada kedudukan mereka sebagai Menteri dan sebagainya. Akan tetapi yang saya hendak tegaskan ini ialah kebebasan badan kehakiman. Ini termasuk peranan Peguam Negara. Dalam beberapa hal, kita melihat ada kelemahan dasar dalam ini. [Tepuk] Jadi, saya mahu penegasan daripada Yang Berhormat Menteri bahawa memorandum ini akan dianggap sah dan bertahan sekiranya kita percaya ada semangat untuk menjaga tata kelola kerajaan termasuk badan kehakiman yang bebas dan Peguam Negara yang tidak tunduk kepada kuasa kerajaan iaitu jangan memilih untuk menyelamatkan VVIP dan mendera orang-orang miskin. Ini termasuk hukuman mati. Jadi saya minta penegasan kerana ini bagi Tuan Yang di-Pertua satu perkara yang sangat penting. Kemajuan-kemajuan dan kejayaan besar yang kita capai akan terkorban kalau badan kehakiman itu diporak-perandakan.
Baik, terima kasih Yang Berhormat Port Dickson. Sila.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya ucap terima kasih dengan apa yang telah ditegaskan oleh Yang Berhormat Port Dickson. Akan tetapi saya hendak jawab satu persatu. Pertama, peruntukan yang sama rata diberi kepada semua Ahli Parlimen. Ini sebenarnya bermula dengan penegasan dalam Jawatankuasa Steering Committee itu sendiri, Jawatankuasa Pemandu itu sendiri yang mengatakan hanya mereka yang terlibat sahaja yang bakal diberi dahulu. Selepas itu, perkara ini insya-Allah saya akan bawa lagi dalam mesyuarat yang akan datang, Mesyuarat Jawatankuasa Steering Committee, badan ini pada masa mesyuarat yang akan datang. Lagipun sekarang sebagaimana Tuan Yang di-Pertua sedia maklum, bahawa kita sudah berpusat ataupun menggunakan urus setia di Parlimen sekarang. Kedua, berhubung dengan MA63. Memang penegasan saya soal MA63 ini saya sudah berjumpa dua kali dengan semua Ahli Parlimen. Cuba hendak jumpa semua tetapi saya sudah dua kali. Ini round yang kedua bakal dibuat, sebab penegasannya kita ada tiga hari sahaja lagi untuk rang undang-undang iaitu 14, 15 dan 17. Walaupun, apabila saya kaji, banyak lagi rang undang-undang yang belum dapat diluluskan oleh Dewan dalam masa tiga hari itu oleh kerana consequential amendments
kepada kewangan itu banyak untuk melaksanakan bajet. Jadi, dengan sendirinya maka berkemungkinan kita memohon kepada pihak Parlimen dan juga pihak kerajaan untuk meluluskan tambahan dua hari lagi persidangan untuk meluluskan kesemua rang undang-undang yang sudah dibaca kali pertama. Insya-Allah Tuan Yang di-Pertua, saya bagi assurance bahawa MA63 akan dibaca kali kedua pada masa tahap bacaan kali yang kedua rang undang-undang tadi. [Tepuk] Bagi Undi 18, kita tidak ada pilihan sebenarnya. Kita tidak ada pilihan. Rang undang-undang ini mesti dilaksanakan sebelum tamatnya persidangan ini oleh kerana hakim telah menetapkan kalau kita tidak laksanakan, maknanya Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia akan contempt of court. Itu dia.
Jadi, dengan sendirinya perundangan itu mesti dibuat. Saya sudah bagi tahu Jemaah Menteri pada dua minggu daripada sekarang kita akan bentangkan dia punya pindaan kepada Artikel 119 untuk mengecualikan pewaris sultan yang saya sebutkan awal tadi. Keempat, soalan kebebasan kehakiman. Sebenarnya, saya tidak ada butiran Tuan Yang di-Pertua. Kita banyak perkara yang kita hendak buat untuk kehakiman ini untuk memberi ruang dan kebebasan kepada pihak kehakiman. Kelima dan keenam ialah penegasan yang diperlukan oleh pihak Yang Berhormat Port Dickson, Ketua Pembangkang. Saya berdiri di sini menjadi saksi Yang Berhormat. Saya memang memberi ruang yang luas kepada pihak AG supaya – saya sendiri bagi tahu dengan Kabinet supaya kita jangan mengganggu-gugat tugas AG ini. Biarlah AG buat keputusan sendiri berlandaskan undang-undang yang dilihat sendiri menggunakan kebijaksanaannya dalam melaksanakan tugas tanggungjawabnya sebagai AG, Penasihat Kerajaan, Penasihat Jemaah Menteri, Penasihat kepada Duli Yang di-Pertuan Agong dan juga pihak yang independent daripada pengaruh dan tekanan daripada mana-mana pihak termasuk Jemaah Menteri itu sendiri Tuan Yang di-Pertua.
Baik. Terima kasih Yang Berhormat Menteri
Sekian, terima kasih.
Saya– panjang masa telah diberikan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri. Saya ingin meneruskan dengan memanggil Yang Berhormat Dato' Mohd. Nizar bin Haji Zakaria, Parit.
2. Dato' Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit] minta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan: (a) sejauh manakah tahap kesiapsiagaan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi pencerobohan yang sering berlaku di Laut China Selatan; dan (b) apakah terdapat sebarang perancangan bagi meningkatkan keupayaan aset-aset ATM sejajar dengan keperluan semasa bagi mengoptimumkan kawalan sempadan negara.
Terima kasih. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Parit ini, untuk pengetahuan semua adalah Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Jadi, beliau telah mencipta sejarah di mana seorang lelaki dilantik kerana sebelum ini tidak silap tidak ada seorang– semua pengerusi adalah seorang wanita. Antara perkhidmatan LPPKN ialah untuk perkhidmatan perancang keluarga dan rawatan kesuburan.
Apa kaitan dengan soalan?
Tidak mengapa, nanti saya bangkit. Jadi saya hendak maklumlah, jadi kalau mana-mana rakyat Malaysia kita hadapi kesukaran dapat cahaya mata, boleh jumpa Doktor YB Parit. Okey, insya-Allah. Menjawab soalan YB Parit, hari ini yang membangkitkan pertanyaan berkenaan tahap kesiapsiagaan aset Angkatan Tentera Malaysia, terutama dalam menghadapi pencerobohan di laut China Selatan. Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa peka terhadap ancaman kedaulatan dan keamanan negara dalam setiap tindakan yang diambil termasuk hal-hal yang menyentuh berkaitan isu kestabilan serantau seperti persaingan kuasa besar di Laut China Selatan. Kementerian Pertahanan melalui Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia sentiasa komited dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan serta hak kedaulatan Malaysia di Laut China Selatan kekal terpelihara. Bagi memastikan negara kekal berupaya menangani cabaran ini, ATM sedang melaksanakan pelan pembangunan keupayaan domain udara bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udara melalui pelan perolehan bagi Long-Range Air Defense Radar System dan Medium-Range Air Defense Missile System serta perancangan perolehan pesawat fighter lead-in trainer/ light combat aircraft. Perolehan ini akan menjamin keupayaan ATM di dalam mencegah sebarang bentuk ancaman udara termasuk di Laut China Selatan. ATM juga sedang melaksanakan pelan pembangunan keupayaan domain laut melalui Program Transformasi Armada TLDM bagi mengatasi cabaran kapal-kapal lama kepada kelas kapal yang lebih baharu juga dikenali sebagai Pelan Transformasi 15-5. Tuan Yang di-Pertua, bagi mengoptimumkan kawalan sempadan negara dan selaras dengan hala tuju strategi pertahanan negara yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan, aspek keupayaan dan kesiapsiagaan operasi ATM akan sentiasa dipertingkatkan. Selain mengatur gerakan anggota untuk mengawal sempadan negara, pada masa ini drone juga digunakan bagi memantau kawalan kawasan-kawasan yang menjadi titik panas bagi aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di semua kawasan operasi ATM. ATM juga sedang berusaha untuk mempertingkatkan keupayaan atur gerak dengan perolehan mini unmanned aerial vehicle (UAV) untuk penugasan Ops Benteng. Selain itu, perolehan peranti pengesan berteknologi tinggi seperti radio barrier wireless intrusion detection system dan non-lethal restraint akan lagi membantu Tentera Darat dalam pelaksanaan operasi harian. Dengan perolehan aset-aset berteknologi tinggi ini, sudah pasti ia akan dapat mempertingkatkan lagi keupayaan ATM untuk aktiviti kawalan sempadan negara. Selain daripada itu, ATM melalui Tentera Darat juga merancang untuk menambah pos-pos kawalan keselamatan di sepanjang kawasan sempadan negara. Terima kasih.
Soalan tambahan, sila Yang Berhormat Parit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah pun memberikan penjelasan kepada kita semua. Soalan tambahan saya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri apakah jaminan bahawa tidak akan berlaku penangguhan atau kegagalan perolehan kapal LCS sebagaimana jangkaan tahun 2025 yang diterangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan sewaktu menggulung Bajet Kementerian Pertahanan. Ini melihat kepada beberapa kejadian yang pernah berlaku seperti pada NGPV dan Kapal Kelas Tunas Samudera termasuklah kapal LCS. Selain daripada itu, apakah langkah Kementerian Pertahanan untuk memastikan Program 15-5 TLDM berjaya dipenuhi dan tidak sekadar pelan yang dilaung-laungkan dalam kenyataan akhbar sebagai retorik semata-mata. Mohon penjelasan.
Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri, satu minit.
Terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Parit. Mengenai usaha menyiapkan kapal littoral combat ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) agar ia betul-betul menjadi kenyataan pada tahun 2025, Kementerian Pertahanan untuk pengetahuan semua telah pun memberikan penelitian khusus dalam usaha demi memastikan pembinaan aset ini dapat disiapkan segera bagi mengukuhkan lagi aspek keupayaan TLDM selaras dengan cabaran masa terkini. Kementerian bersama-sama stakeholder yang terlibat sedang merangka Yang Berhormat Parit, pelan pemulihan yang komprehensif bagi menjamin kapal LCS untuk TLDM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Dalam hal ini, kementerian sedang melihat semula aspek perancangan perolehan bersama dengan agensi pusat yang lain seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri serta akan mengemukakan pelan pemulihan projek LCS ini untuk pertimbangan Kabinet Jemaah Menteri. Sekiranya Pelan Pemulihan ini dipersetujukan oleh Kabinet, maka kita insya-Allah akan melihat LCS pertama pada tahun 2025 akan menjadi kenyataan. Kementerian Pertahanan juga bercadang untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan projek ini berjalan lancar dan sempurna supaya tidak lagi hanky- panky dengan izin. Jadi, insya-Allah program– berbangkit dengan– Yang Berhormat Parit juga membangkitkan Program Transformasi 15-5 seperti yang dibangkitkan tadi, suka saya hendak jelaskan pelan yang dijangka ini akan dapat mengatasi cabaran yang dihadapi oleh TLDM dalam menguruskan aset-aset yang telah mengalami keusangan dan lama dengan mentransformasikan 15 kelas kapal yang lama kepada hanya lima kelas kapal yang baharu. Lima kelas kapal tersebut terdiri daripada; (i) littoral combat ship (LCS); (ii) littoral mission ship (LMS); (iii) multi role support ship (MRS); (iv) new generation patrol vessel (NPGV); dan, (v) kapal selam Program transformasi TLDM...
Sila ringkaskan jawapan.
Ringkas, ini last. Program Transformasi 15-5 ini akan terus menjadi garis panduan pembangunan keupayaan TLDM hingga tahun 2050 yang mana menjadi satu aspirasi TLDM untuk dicapai secara berperingkat sejak RMKe-11 hingga RMKe-17. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tampin.
Soalan tambahan yang kedua...
Tampin.
Padang Serai.
Saya panggil dahulu Yang Berhormat Tampin.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih juga kepada Timbalan Menteri di atas jawapan yang diberikan. Kita pasti kesiapsiagaan pertahanan dalam menjaga keselamatan sempadan negara amat penting. Ia memerlukan kerjasama yang menyeluruh di kalangan negara-negara yang bersempadan dengan negara kita.
Soalan saya ialah meminta Timbalan Menteri menjelaskan apakah ada bentuk kerjasama dengan negara-negara jiran bagi mengekang permasalahan rentas sempadan perairan negara meliputi Laut China Selatan, Laut Melaka, perairan Timur Sabah dan juga perairan Tenggara Johor? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri. Satu minit.
Terima kasih Yang Berhormat Tampin. Antara Yang Berhormat yang saya tahu amat rajin bertanya hal keselamatan pertahanan negara. Sebenarnya, soalan ini Yang Berhormat Tampin ini ada juga dibangkitkan oleh tidak salah saya Yang Berhormat Bukit Bendera. Dia ada bangkit juga soalan yang ada kaitan dengan yang sama. Jadi menjawab soalan tambahan Yang Berhormat Tampin, sesungguhnya usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan sempadan perairan negara berada dalam tahap tertinggi melalui pelaksanaan operasi-operasi secara berterusan di seluruh perairan negara iaitu meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka, perairan Timur Sabah dan perairan Tenggara Johor. Untuk pengetahuan semua, saya sebelum ini pun dalam Dewan ini saya ada menyentuh berkaitan tentang kejayaan pelaksanaan Ops Benteng. Sesungguhnya kerjasama menyeluruh daripada pelbagai agensi keselamatan dan penguasaan negara seperti ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain agensi kerajaan yang bertujuan menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 telah terbukti berjaya termasuk mengukuhkan lagi kawalan keselamatan sempadan negara. Yang Berhormat Tampin, selain daripada Ops Benteng, kawalan perairan negara turut dibuat melalui kerjasama rondaan bersama negara jiran seperti perairan Selat Melaka di bawah inisiatif Melaka Street Patrol yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Di bawah inisiatif ini, kerjasama pengawasan ruang udara bersama yang dikenali sebagai ‘air in the sky’ turut dilaksanakan. Begitu juga di kawasan Pantai Timur Sabah turut diwujudkan kerjasama di antara Malaysia, Filipina dan Indonesia di bawah Trilateral Cooperative Arrangement yang melibatkan elemen rondaan maritim dan rondaan udara yang melibatkan kerjasama tentera laut dan tentera udara dari ketiga-tiga buah negara berkenaan. Jadi adalah diharapkan dengan usaha-usaha yang diambil ini akan dapat memastikan kedaulatan dan keselamatan negara kita sentiasa terpelihara. Terima kasih
Terima kasih.
Padang Serai.
Masa sudah terlalu panjang.
Minta satu. Sekejap sahaja.
Saya menjemput Yang Berhormat Tuan Lim Lip Eng Kepong.
4. Tuan Lim Lip Eng [Kepong] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan jumlah peniaga di Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika program Zon Bebas Niaga dan pelan jangka panjang bagi program tersebut.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Kepong di atas soalan untuk Kementerian Wilayah Persekutuan. Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga bermula pada 15 November 2020 sebagai pelan tindakan jangka pendek bagi membantu warga Wilayah Persekutuan termasuk penjaja yang terjejas punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.
Di bawah inisiatif ini, urusan permohonan Lesen Penjaja dipermudahkan dan menetapkan syarat-syarat permohonan yang mudah dengan syarat penepatan lokasi yang tidak menimbulkan kacau ganggu lalu lintas serta penjagaan kebersihan di kawasan aktiviti penjaja yang dibenarkan. Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ingin saya maklumkan bahawa permohonan Lesen Penjaja Sementara Kuala Lumpur Prihatin bagi program Wilayah Bebas Berniaga telah ditutup pada 15 April tahun 2021. Pelesen-pelesen yang telah diluluskan sehingga 31 Julai 2021 dan telah diberi tempoh lanjutan lesen sehingga 31 Disember 2021. Buat masa ini DBKL sedang dalam proses memuktamadkan program hala tuju Wilayah Bebas Berniaga pada penghujung November 2021. Pihak DBKL sedang dalam proses untuk melakukan penempatan dan penyusunan semula peniaga-peniaga di bawah program ini. Ini adalah bagi memastikan para peniaga ini dapat kita selaraskan susun atur dalam keadaan yang lebih teratur dan tersusun. Tuan Yang di-Pertua, bagi wilayah ataupun kawasan Putrajaya, suka saya maklumkan selaras dengan hala tuju Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Putrajaya telah menyediakan ruang niaga serta mempermudahkan urusan permohonan dan kelulusan kepada penjaja kecil sementara ataupun PKS dan usahawan muda kota ataupun UMK bagi membolehkan golongan ini menjana pendapatan demi perniagaan mereka. Selain daripada itu, pengecualian daripada bayaran lesen juga diberikan bagi membantu penjaja kecil sementara ini. Setakat ini, untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, sebanyak 118 kebenaran untuk menjalankan perniagaan telah dikeluarkan kepada penjaja kecil sementara dan daripada jumlah tersebut sebanyak 22 PKS masih beroperasi dan aktif sehingga kini. Manakala untuk usahawan muda kota pula, jumlah sasaran lot niaga yang telah dikenal pasti sebanyak 118 dan telah ditawarkan adalah 95 peniaga. Perbadanan Putrajaya juga telah merancang untuk menyediakan 47 lot baharu bagi tahun 2021 dan 2022 ini.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, sedikit lagi Tuan Yang di- Pertua. Saya tidak ambil masa yang panjang. Cuma saya hendak sebut antara pelan jangka panjang pada tahun 2021 dan 2023 ialah Perbadanan Putrajaya, berkaitan dengan
(i) untuk menaik taraf kawasan penjaja kepada cadangan pembangunan KIOS yang lengkap; (ii) mengenal pasti penjaja yang berpotensi dan berdaya saing untuk ditawarkan peluang perniagaan di KIOS atau ruang niaga di bawah Perbadanan Putrajaya; dan (iii) mengenal pasti dan mencadangkan beberapa lokasi perniagaan baharu di setiap presint untuk penjaja kecil sementara untuk usahawan muda kota. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan. Sila.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bagaimana kementerian mahu selesaikan ketidakadilan, tidak puas hati, tidak seimbang, tidak seragam yang dihadapi oleh para peniaga kedai yang kena bayar sewa tiap-tiap bulan? Manakala program JomBebas ini membenarkan penjaja tepi jalan tanpa sewa beroperasi di hadapan peniaga kedai yang kena bayar sewa. Saya minta satu kaedah penyelesaian. Terima kasih.
Terima kasih. Sila Timbalan Menteri.
Saya juga Tuan Yang di-Pertua. Saya juga telah menerima pelbagai rungutan daripada peniaga yang telah dikenakan bayaran sewa dan bayaran lesen di beberapa premis kekal ataupun premis sebelum program Bebas Niaga Wilayah ini diperkenalkan. Ini adalah termasuk dalam pertimbangan kementerian untuk memikirkan hala tuju bagi program Bebas Niaga Wilayah ini. Jadi kerana itu Tuan Yang di-Pertua, bantuan kepada peniaga-peniaga yang selain daripada program Bebas Niaga Wilayah ini juga, kita bagi bantuan juga. Untuk rekod Dewan yang mulia ini, saya hendak nyatakan dalam bentuk figure, dalam bentuk jumlah dengan izin. Bagi tahun 2020 sahaja DBKL membelanjakan RM20,298,521.48. Itu bagi tahun 2020 sahaja. Bagi tahun 2021, RM19,481,983.12. In total dengan izin bagi tahun 2020 dan 2021 Tuan Yang di-Pertua, DBKL membelanjakan RM39,785,504.60. Ini adalah total bagi bantuan peniaga-peniaga bagi pengecualian lesen, bagi pengecualian 50 peratus sewa premis niaga bagi tahun 2021 sempena dengan pandemik ini. Oleh kerana itu, untuk makluman Yang Berhormat Kepong, walaupun bebas niaga mendapat bayaran percuma lesen akan tetapi pihak DBKL dan kementerian juga tidak mengetepikan tentang bantuan-bantuan dan juga sumbangan kepada peniaga dan usahawan yang lain. Terima kasih.
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Soalan tambahan, Segambut.
Sekejap, sekejap ya. Saya dapati kita hari ini baru soalan nombor empat – sejam. Ini adalah satu perkara yang amat tidak memuaskan hati. Kalau kita mengikut convention di House of Commons, soalan itu 30 saat dan jawapan seminit sahaja. Akan tetapi di sini kita bagi tiga minit dan dua minit setengah dan sebagainya. Itu yang pertama. Saya dapati tadi dari pejabat saya, ada Yang Berhormat semua bangun untuk berbahas, ini tidak ikut peraturan. Peraturan Mesyuarat 24(4)...
[Bangun]
Itu Tuan Yang di-Pertua kena tanya Timbalan Yang di-Pertua.
Nyatakan, katakan– tolong diam sekejap.
[Ketawa]
Nyatakan dengan terang, “Sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dijadikan helah untuk berbahas.” Ini bukan waktu berbahas, ini waktu pertanyaan dan waktu Menteri menjawab. Jadi, saya hendak minta tolong amalan ini kita kena hentikan sebab principle di sebalik pertanyaan ini ialah kita hendak sebanyak mungkin pertanyaan ditanya dan sebanyak mungkin pertanyaan dijawab bukan dibolot Ahli-ahli Yang Berhormat yang mendapat soalannya top ten. Bukan, bukan begitu. So, saya hendak pohon kerjasama semualah. Tidak mahulah bahas, mukadimah itu sikit dan dijawab terus, disoal terus, jangan mukadimah panjang. Saya dapati sebelum ini yang mukadimahnya seminit setengah, soalan 10 saat. Tidak elok macam itu sebab ia mengambil masa Ahli Yang Berhormat lain untuk menanyakan soalan. Not fair to you all actually, saya tidak apa. Saya boleh bagi satu soalan pun okey but not fair, tidak adil kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sendirilah ya. So, soalan ini sekarang daripada Yang Berhormat Kepong dan soalan pertama telah ditanya oleh Yang Berhormat Kepong ya. Jadi, soalan yang kedua di sebelah sini...
Tuan Yang di-Pertua, Batu.
Yang Berhormat Kinabatangan, dipersilakan.
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] [Pembesar suara dimatikan]
Kementerian Wilayah, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua memang bijaksana. Soalan saya tidak sampai 30 saat. Saya ingin bertanya dengan Menteri. Apakah inisiatif seumpama ini akan dilebarkan oleh kerajaan di semua negeri- negeri sebab yang terkena pandemik COVID-19 bukan di Wilayah sahaja, di semua daerah, negeri-negeri ada pandemik COVID-19 ini. Apakah kerajaan mengubah hala tuju melebarkan seluruh negeri?
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, saya pun jawab pendek sahaja untuk makluman Yang Berhormat Kinabatangan. Kementerian Wilayah jaga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja. Untuk negeri lain, saya minta Menteri yang lain jawab. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, soalan daripada Ahli Parlimen Wilayah.
Segambut.
Ya, Yang Berhormat Segambut.
Terima kasih ya.
Jawapan tidak betul.
Soalan saya adalah untuk zon bebas peniaga ini, penentuan lokasi ini. Apakah hala tuju kementerian untuk libatkan Dewan Rakyat kerana sekarang ini kesesuaian lokasi banyak lokasi dibenarkan di depan kedai orang. Jadi, semua rata-rata peniaga kedai tidak puas hati. Terima kasih.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat.
Contoh Taman Tun dengan Hartamas.
Tuan Yang di-Pertua, soalan yang sama, saya hendak just tambah sedikit.
Tidak. Tiga soalan sahaja boleh. Yang Berhormat maaf.
Sedikit sahaja.
Tidak boleh. Tidak boleh, tiga sahaja peraturan cakap.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Segambut. Ini antara percaturan dan juga pertimbangan kita di dalam meluluskan Program Wilayah Bebas Niaga ini. Saya setuju dengan Yang Berhormat ada tempat tidak boleh dilakukan atau dijadikan tempat berniaga kerana itu lesen mereka perlu dapatkan untuk mendapatkan tempat yang tidak ada kacau ganggu, lalu lintas, kebersihan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pihak kementerian akan sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan pemimpin-pemimpin tempatan bagi mendapatkan pandangan balas mereka. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih. Saya menjemput Yang Berhormat Dato' Haji Mohd. Salim Sharif.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua saya amat menyokong cadangan Tuan Yang di-Pertua tadi.
Bukan cadangan memang peraturan pun.
5. Dato’ Haji Salim Sharif [Jempol] minta Perdana Menteri menyatakan keberkesanan dan hala tuju sistem TracAPM yang digunakan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) di beberapa lokasi penting untuk membendung penularan wabak COVID- 19.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya dahulu, tadi untuk soalan nombor satu saya ada menyebut perkataan ‘CSA’ dan Yang Berhormat Port Dickson menyebut ‘MoU’. Sebenarnya terma yang tepat adalah ‘Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik. Itu terma sebenarnya. Itu saya hendak betulkan apa yang saya sebut tadi. Minta maaf.
Saya terus menjawab kepada Jempol. Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sistem TracAPM adalah sistem yang dibina secara usaha sama APM dan syarikat Tri-G. Sistem telah dilancarkan pada 24 Mac 2021, diguna pakai di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk kemasukan person under surveillance (PUS) dengan melibatkan aplikasi modul, pengurusan pengangkutan dan stesen kuarantin. Perjalanan pelaporan memalui sistem ini boleh dibuat secara terus atau real time kepada pemegang taruh iaitu stakeholder seperti JPM, MKN, MOTAC, KKM, PDRM, MAHB dan Jabatan Laut. Pada 16 September 2021 Tuan Yang di-Pertua, TracAPM Travel Bubble di Langkawi telah berjaya merekodkan jumlah hampir 2,850 pengunjung yang masuk ke pulau tersebut sekali gus memudahkan proses pemantauan, pematuhan SOP secara digital iaitu maklumat purpose of visit, sama ada hadir untuk pelancongan, tuntutan pekerjaan mahupun pengunjung tempatan. Sementara itu TracAPM juga dapat mengetahui segera point of departure semua pengunjung tersebut sama ada dari KLIA, Jeti Kuala Perlis, Pulau Pinang ataupun Lapangan Terbang Subang. Segala maklumat berkenaan disimpan dalam pangkalan data sistem TracAPM. Bermula pada Oktober 2021 pula TracAPM melalui program Travel Bubble turut diguna pakai di Pulau Tioman. Pada masa akan datang sistem ini akan diperluaskan Yang Berhormat. Penggunaannya, dalam pengurusan bencana seperti pengurusan pusat pemindahan sementara, operasi mencari dan menyelamat mangsa dan agihan bantuan dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti MKN, NADMA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri. Pertamanya, saya ingin merakamkan tahniah kepada APM kerana memperkenalkan sistem TracAPM yang selaras usaha kerajaan bagi mentransformasikan pendigitalan negara. Penggunaan TracAPM ini di pintu masuk negara pada masa ini lebih tertumpu kepada urusan jalanan rentas negeri dan pelancongan sahaja memandangkan monsun timur laut telah bermula dan akan berterusan sehingga Mac 2022. Apakah kerajaan bercadang untuk memperluaskan dan manfaat penggunaan sistem tersebut bagi tujuan lain seperti membuat pengesanan ataupun pendaftaran mangsa di pusat-pusat pemindahan sementara? Keduanya, saya difahamkan sistem ini dibiayai secara percuma menerusi CSR oleh syarikat swasta. Justeru itu, saya ingin mengetahui jaminan kerajaan segala data dan maklumat terkandung tidak akan digunakan bagi kepentingan dengan syarikat terbabit. Mohon Timbalan Menteri untuk menjawab. Terima kasih.
Terima kasih. Dipersilakan Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Jempol seperti saya sebut tadi memang kita akan meluaskan. Untuk makluman Yang Berhormat, sistem TracAPM ini akan membuat penerangan berserta hebahan kepada semua pegawai APM dan para pemegang taruh tempatan di setiap negeri untuk digunakan untuk menyahut apa yang Yang Berhormat sebut tadi. Supaya pendigitalan perkhidmatan kerajaan termasuk APM merupakan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah dan NADMA adalah salah satu daripada agensi di bawah tugas-tugas khas juga.
Jadi, kita bekerjasama dalam apa juga usaha dan bencana seperti Monsun Timur Laut (MTL) yang akan datang ini, semestinya ia sangat membantu. Justeru itu, perluasan aplikasi sistem TracAPM secara berperingkat bakal diperkenalkan di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) bagi tujuan pendaftaran dan kemas kini maklumat mangsa- mangsa bencana terutamanya mangsa MTL. Kita juga akan menjaga hal-hal data peribadi supaya ia tidak sampai ke tempat ataupun kepada orang yang tidak bertanggungjawab. Terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan sebelah sini. Tidak ada? Jadi saya jemput Yang Berhormat Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah.
6. Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah [Kubang Pasu] minta Perdana Menteri menyatakan langkah strategik kerajaan untuk membantu institusi tahfiz dan madrasah persendirian yang terjejas teruk akibat pandemik COVID19.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada hari ini memberikan kesan yang besar kepada semua sektor termasuk sektor pendidikan. Justeru itu, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu kelangsungan mengoperasi institusi pendidikan di negara ini termasuk institusi tahfiz swasta yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri. Antaranya ialah dengan perkenalkan pengajaran dan pembelajaran di rumah PdPR bagi membolehkan isu berkenaan terus dapat beroperasi norma baharu. Sebelum itu, saya ingin menjelaskan di Dewan yang mulia ini berdasarkan maklumat yang disahkan oleh pihak berkuasa agama negeri. Hakikat penutupan institusi tahfiz swasta berdaftar adalah hanya bersifat sementara bagi mematuhi arahan kerajaan supaya rantaian jangkitan wabak COVID-19 dapat diputuskan.
Pada tahun 2021, kerajaan sekali lagi menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta secara one-off bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) merangkumi sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok. Sehingga Ogos 2021, sebanyak RM60 juta telah pun disalurkan kepada 1,066 buah institusi yang layak. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM22,257,100 telah disalurkan kepada 413 buah institut tahfiz di negeri-negeri seluruh negara. Baki RM40 juta telah diterima pada 4 Oktober 2021 bagi tujuan yang sama dan juga bagi tujuan kos pengurusan dan pengoperasian institusi berkenaan yang sedang diurus untuk diagih secepat mungkin. Kerajaan turut merancang untuk memberikan kemahiran TVET kepada pengusaha dan murid tahfiz bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan dan sumbangan kerajaan serta masyarakat dalam memastikan institusi tahfiz dibawah kelolaan mereka terus dapat beroperasi. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat. Soalan tambahan pertama.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Mengikut rekod maahad tahfiz yang berdaftar persendirian ini, yang berdaftar dengan JAIN dan JAKIM adalah sebanyak 1,198 buah dengan 84,643 orang murid dan 10,357 orang guru. Dalam kajian dibuat oleh Persatuan Madrasah Tahfiz Al- Quran Malaysia adalah didapati bahawa 65 peratus diarah tutup operasinya oleh pihak kerajaan semasa pandemik COVID-19. Di antara sebabnya itu ialah mengatakan bahawa 12 peratus pula terpaksa memberhentikan semua kakitangan. Jadi soalan saya seperti mana yang awal tadi, saya rasa macam tidak tersentuh kesemuanya. Soalan saya ialah langkah strategi– it is not knee-jerk punya reaction pada pandemik COVID-19 ini, tetapi strategik, masa depan bagaimana untuk memastikan
bahawa maahad tahfiz persendirian ini dapat terus bertahan, memberikan pendidikan yang berkualiti dan memastikan bahawa mereka ini dapat memberi sumbangan yang besar kepada negara. Terima kasih.
Saya mempersilakan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Kubang Pasu. Untuk makluman, setakat rekod yang saya sebut tadi, tidak adapun laporan daripada pihak berkuasa agama negeri yang memaklumkan yang sekolah maahad tahfiz diarahkan tutup. Cuma diberhentikan kerana mematuhi peraturan daripada MKN itu sendiri. Setakat hari ini, setakat rekod yang kita dapat. Keduanya ialah berkenaan dengan bantuan-bantuan yang kita sebut tadi. Memang kita akan berikan tahun ini untuk tahun depan sebanyak RM140 juta yang diberikan juga ialah antaranya untuk diberikan kepada maahad tahfiz ataupun sekolah- sekolah pondok persendirian yang berdaftar. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Tumpat.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan yang terus komited membantu sekolah-sekolah tahfiz dan madrasah persendirian yang terjejas kerana pandemik COVID-19 ini. Cuma saya ingin tahu, apakah kementerian juga merancang untuk melibatkan syarikat-syarikat besar di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan tahfiz dan madrasah sebagai salah satu daripada pendekatan full of societies seperti yang dilaungkan oleh pihak kerajaan? Terima kasih.
Sila Yang Berhormat.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tumpat. Sebenarnya Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 telah pun menetapkan 20 strategi dan 32 inisiatif. Memang antara salah satunya ialah untuk kita melibatkan supaya CSR di kalangan GLC-GLC ataupun syarikat-syarikat besar untuk memastikan pengurusan pendidikan tahfiz ini dapat berjalan dengan bantuan ataupun kita hendak supaya civil society ini dapat memberi bantuan terhadap sekolah tahfiz ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
7. Datuk Robert Lawson Chuat [Betong] minta Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyatakan: (a) sama ada kementerian merancang untuk membuka industri hiliran dan prasarana berasaskan susu getah atau lateks di Sarawak; dan (b) apakah keperluan dari segi pelaburan dan infrastruktur untuk merealisasikan industri tersebut di Sarawak.
Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat dalam Dewan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Betong yang begitu prihatin dengan industri getah negara kita. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyatakan bahawa kementerian sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri Sarawak bagi pembangunan industri getah terutamanya sektor pemprosesan dan produk hiliran di Sarawak memandangkan pembangunan industri getah di Sarawak adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia akan membantu memberikan khidmat nasihat teknikal, R&D dan juga perkhidmatan pengujian produk getah ini. Berdasarkan maklumat yang saya dapati daripada MANRED, cadangan pembinaan pusat pengumpulan lateks (latex collection centre) di Betong sedang disemak oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah. Melalui kajian potensi pengeluaran lateks yang dilaksanakan oleh pihak MANRED dan
agensi di bawahnya. Perkara tersebut akan diteruskan pelaksanaannya melalui Sarawak Rubber Industry Board (SARIB) yang akan ditubuhkan dalam masa yang terdekat. Negeri Sarawak juga berpotensi untuk mengembangkan sektor pemprosesan lateks sebagai hab baharu pengeluaran lateks di Malaysia dan seterusnya pembuatan produk getah berasaskan lateks seperti sarung tangan getah. Pelaburan dan infrastruktur yang diperlukan boleh dicadangkan berdasarkan kepada status pengeluaran getah semasa dan pembangunan infrastruktur berkaitan yang diperlukan seperti rangkaian pusat pengumpulan dan kilang pemprosesan lateks. Untuk makluman Ahli Dewan, Betong juga merupakan salah satu dari pusat penanaman getah yang begitu besar, iaitu 31,466 hektar dan merupakan penanaman getah terbesar di Sarawak. Negeri Sarawak pula kita mempunyai lebih daripada 164,000 hektar yang kita tanam dengan getah. Dengan ini kita memang mempunyai hasrat yang begitu tinggi untuk melihat suatu hari nanti negeri Sarawak dan khasnya di Betong kita boleh mempunyai pusat pengumpulan lateks untuk negara kita. Terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama.
Okey, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya, apakah strategi kementerian bagi meningkatkan penggunaan getah bagi industri hiliran? Sekiranya latex collection centre dapat didirikan di Sarawak, adakah ia praktikal untuk dihantar ke Semenanjung Malaysia bagi menampung keperluan lateks di Semenanjung? Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Betong. Soalan yang begitu spesifik dan sudah semestinya sebagai kawasan yang besar penanaman getah, sudah semestinya beliau prihatin. Kita di peringkat kementerian akan meneruskan pelaksanaan penggunaan produk hiliran getah khasnya untuk pembinaan jalan getah ataupun cup lump modified bitumen (CMB) di samping menggalakkan industri hiliran yang sedia ada seperti pembuatan sarung tangan, ceramic bearing dan sebagainya. Sukacita juga saya maklumkan kementerian ingin menyeru kepada semua kerajaan negeri termasuk Kerajaan Negeri Sarawak untuk turut memberi dan membantu pekebun kecil dengan membina satu ataupun menggunakan jalan yang diturap dengan getah dan juga menggunakan teknologi CMB. Untuk peringkat kementerian, kita juga merasakan masalah untuk menghantar lateks kepada Semenanjung tidak ada masalah sebab kita telah mempunyai teknologi- teknologi untuk membantu. Namun begitu, saya ingin melihat industri hiliran itu berlaku di negeri Sarawak kerana ini boleh membantu negeri Sarawak mempunyai spillover effect dalam menyediakan peluang pekerjaan dan juga business sampingan yang boleh lahir daripada kesan penubuhan pengumpulan lateks di negeri Sarawak ini. Terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan kedua? Tidak ada. Seterusnya Yang Berhormat Puan Isnaraissah. Silakan.
8. Puan Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy [Kota Belud] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) akan mengambil kira dimensi pendidikan, kesihatan dan perkara lain yang lebih holisitik dalam menggambarkan keadaan sebenar kemiskinan negara.
Dengan izin Tuan Yang di-Pertua. Kerajaan akan mengemas kini spesifikasi pendapatan dan PGK pada tahun 2022 serentak dengan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, HIES/BA dijalankan dua kali dalam tempoh setiap lima tahun. PGK adalah merujuk kepada jumlah pendapatan bulanan isi rumah yang diperlukan untuk memenuhi keperluan minimum makanan dan bukan makanan bagi membolehkan setiap ahli isi rumah menjalani kehidupan yang sihat dan aktif. PGK yang terkini telah dikemas kini pada tahun 2019 menggunakan metodologi PGK
2019 yang mengambil kira konsep kos keperluan asas dalam pemilihan barangan adalah berdasarkan konsep optimum minimum. Manakala PGK bukan makanan berdasarkan 146 barang dan perkhidmatan asas. PGK mengambil kira peningkatan kualiti hidup dan corak perbelanjaan oleh kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus terendah ataupun P20. PGK 2019 juga menunjukkan perubahan harga semasa bagi barang dan perkhidmatan. Untuk melengkapkan PGK, kerajaan telah pun mengguna pakai Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) bagi mengukur kemiskinan daripada pelbagai dimensi. Pada masa kini MPI merangkumi empat dimensi iaitu kewangan, penyelidikan, kesihatan dan taraf hidup yang merangkumi 11 indikator. Dimensi dan indikator ini akan diperluas agar lebih komprehensif untuk mengukur kemiskinan pelbagai dimensi dengan lebih baik termasuk untuk mengambil kira ketersediaan jalur lebar dan peranti digital. Kaedah mengukur kemiskinan akan terus ditambah baik dalam memastikan keberkesanan inisiatif pembasmian kemiskinan untuk RMKe-12.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama.
Tuan Yang di- Pertua, sebelum saya ke soalan tambahan, saya minta nanti jawapan bertulis daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya percaya bahawa memang ada pertumbuhan ekonomi tetapi sangat perlahan dan Sabah masih ketinggalan. Kalau kita lihat daerah-daerah miskin memang itu juga Nabawan, Telupid, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu. Justeru itu, bagi memastikan bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan miskin di Sabah ini benar-benar dapat membantu mereka– Saya rasa fokus kita bukan sekadar memberi bantuan kepada golongan miskin tetapi bawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. Soalan saya adalah, adakah kerajaan bercadang untuk menentukan kadar pendapatan garis kemiskinan di Sabah ini mengikut wilayah ataupun daerah di Sabah? Ini kerana, di Sabah sangat situasinya berbeza-beza ya. Kedua, adakah kementerian berkolaborasi dengan kementerian-kementerian lain untuk memastikan bagaimana kita membawa golongan miskin ini keluar daripada kepompong kemiskinan. Ini kerana, saya percaya dengan menyediakan infrastruktur kepada mereka kemudian ekonomi akan datang dengan sendirinya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Kota Belud di atas soalan tambahan. Saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat tadi. Walau bagaimanapun, bentuk bantuan yang diberikan tertakluk kepada jenis tahap kemiskinan di sesuatu kawasan itu. Kita mengambil kira bahawa Sabah ini banyak kawasan yang terjejas yang memang berada di bawah tahap kemiskinan. Walau bagaimanapun, Kota Belud ini tidak termasuk di antara 10 kawasan yang dikatakan termiskin di dalam Malaysia. Ada enam, ada lima...
Timbalan Menteri, Kota Belud ada dalam kalau buku RMKe-12 itu termasuk dalam 10 daerah termiskinlah untuk tahun 2019. Cumanya, saya minta perhatian lebih untuk Sabah kerana saya percaya bahawa banyak lagi daerah-daerah Sabah ini tergolong dalam daerah miskin. Daripada 10 daerah termiskin tahun 2019 kalau Yang Berhormat Timbalan Menteri rujuk buku RMKe-12 itu, lapan ada di Sabah dan salah satunya di/dari Kota Belud. Terima kasih.
Okey Yang Berhormat. Tolong Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Ya, baik. Saya akan semak balik tetapi berdasarkan maklumat terkini yang saya ada, Kota Belud tidak ini termasuk Tongod, Pitas, Kota Marudu, Beluran dan Telupid. Jadi, antara – juga satu di Kelantan dan satu di Sarawak. Saya akan semak balik, Yang Berhormat. Akan tetapi saya bersetuju Sabah ada– kalau merujuk kepada RMKe-12 kita punya banyak keutamaan yang juga diberikan
kelebihan kepada negeri Sabah dengan mengambil kira keadaan faktor persekitaran dan tahap kemiskinan yang ditanggung oleh rakyat Sabah. Saya percaya ini pelbagai pendekatan telah diambil kira dan diberi pertimbangan oleh Kementerian Ekonomi ataupun UPEN sendiri untuk membantu rakyat Sabah supaya tidak tercicir oleh pembangunan ekonomi yang sedia ada.
Ada soalan tambahan kedua sebelah ini? [Merujuk kepada blok kerajaan] Tumpat.
Ya, terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Soal penetapan baharu kepada Paras Garis Kemiskinan (PGK) ini suatu yang baik apatah lagi negara di dalam fasa menempuh ke era pemulihan pasca pandemik. Cuma, saya ingin bertanya apakah rancangan strategik kementerian selepas daripada langkah mengemas kini PGK ini khususnya melibatkan mobiliti, sosial masyarakat dalam bandar dan luar bandar. Terima kasih.
Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat soalan tambahan. Buat setakat ini kita menumpukan kepada membuat penilaian yang lebih komprehensif terhadap tahap kemiskinan. Ini yang saya katakan iaitu selain daripada PGK juga kita menggunakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi. Ini supaya penilaian itu dibuat secara lebih tepat dan komprehensif Yang Berhormat. Kemudian, selepas daripada itu barulah kita fikir apakah cara terbaik untuk keluar daripada tahap kemiskinan yang sedang ditanggung oleh individu tersebut. Kerajaan menyediakan pelbagai macam inisiatif untuk membantu dan juga– bukan sahaja membantu mereka yang berada di bawah tahap kemiskinan tetapi juga untuk menyediakan peluang supaya mereka ini dapat keluar daripada di luar garis kemiskinan yang sedia ada.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri yang menjawab. Saya hanya ingin menambah persoalan memandangkan dalam projek rintis yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri minggu lepas ada memperincikan beberapa garis panduan. Akan tetapi, tidak menggambarkan sama ada penggunaan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi akan diguna pakai bagi menepati keperluan daerah-daerah tertentu. UNICEF contohnya dalam review MPI menyatakan penggunaan MPI sangat relevan bagi keperluan daerah. Maksudnya setiap daerah sepatutnya ada wujud MPI tersendiri. Sebagaimana yang disebut oleh Kota Belud tadi, Sabah ini antara daerah yang termiskin dan memerlukan kiraan MPI yang spesifik. Maka dalam pemilihan projek rintis tersebut adakah akan dimasukkan juga elemen MPI mengikut keperluan negeri dan daerah tersebut dan adakah ia akan dikongsi secara terbuka dengan kesemua Ahli Parlimen? Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Silakan Yang Berhormat.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Permatang Pauh di atas soalan tambahan. Ya, saya bersetuju bahawa penggunaan MPI ini dapat diguna pakai secara spesifik mengikut latar belakang sesuatu daerah. Oleh sebab itu, saya katakan ini memang asas selain daripada memulakan PGK, MPI juga digunakan. Apabila kita menyebut tentang MPI ataupun pelbagai dimensi ini, kita mengambil kira latar belakang ataupun keperluan spesifik kepada daerah-daerah yang berada di Sabah supaya seperti kata Yang Berhormat tadi kita dapat membantu mereka ini keluar daripada garisan tahap kemiskinan yang sedia ada.
Terima kasih Yang Berhormat semua, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari ini. Terima kasih Yang Berhormat semua.
Tuan Yang di-Pertua, mohon Tuan Yang di-Pertua, boleh soalan sembilankah?
Maaf Yang Berhormat Libaran, sudah pukul 12 tengah hari. Itulah sebabnya, Yang Berhormat semua tidak ikut masa. So, Yang Berhormat Libaran tidak dapat tanya soalan. Usul Yang Berhormat Menteri, silakan. [Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Usul — Waktu Mesyuarat Dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan MesyuaratMotion
Tuan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan dalam peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya; dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Isnin, 29 November 2021”.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ada yang menyokong?
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 Bacaan Kali Yang Kedua DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 JawatankuasaBill
Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula pertimbangan atas “Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Anggaran Pembangunan 2022 dalam Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.” [Hari Keempat] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 Bacaan Kali Yang Kedua DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 Jawatankuasa — Kepala B.21 [Jadual] - Kepala P.21 [Anggaran Pembangunan 2022] –Bill
Yang Berhormat semua, hari ini kita ada tiga lagi kementerian, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang kita sambung dari semalam, kemudian Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, akhir sekali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Saya sedar hari ini hari Khamis, maka ramailah Ahli Yang Berhormat yang ingin pulang ke kawasan masing-masing dan sebagainya. Jadi, untuk menghabiskan ketiga-tiga kementerian ini, terpaksalah saya mengehadkan hanya 20 orang Ahli untuk berbahas bagi Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Manakala untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, kita ada 15 orang. Akan tetapi saya terpaksa hadkan perbahasan sehingga pukul 1 ini supaya Yang Berhormat Menteri boleh menjawab pukul 2.30 petang untuk menghabiskan semua kementerian, saya rasa insya-Allah dalam pukul 7 supaya Yang Berhormat-Yang Berhormat semua boleh pulang ke kawasan masing-masing. Jadi, pembahas yang akan mengambil bahagian sebelum pukul 1 ini saya rasa kalau kita ikut masa ialah Yang Berhormat-Yang Berhormat berikut iaitu Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Bayan Baru, Yang Berhormat Jerantut, Yang Berhormat Tenom, Yang Berhormat Batang Lupar, Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Tebrau, Yang Berhormat Merbok, Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Tangga Batu dan insya-Allah Yang Berhormat Kemaman, kalau kita ikut masa. Maka, saya hendak jemput Yang Berhormat Setiu sekarang. Kita sambung dari semalam Kepala Bekalan B.21 dan Kepala Pembangunan P.21 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Yang Berhormat Setiu silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Membaca sepotong ayat Al-quran] Tuan Pengerusi, merujuk kepada Butiran 020300 - Pertanian. Perkara pertama berkenaan butiran ini adalah berkaitan isu input pertanian yang sering kali dijual dengan harga yang sangat tinggi. Contohnya, harga racun yang naik mendadak sejak beberapa bulan yang lalu. Masalah ini amat membebankan para petani sehinggakan pesawah terpaksa membuat pinjaman sehingga RM10,000 daripada broker bagi memastikan tanaman padi tidak terjejas. Malah di Terengganu, golongan petani mendakwa kenaikan harga racun rumpai dan baja sehingga dua kali ganda dalam satu musim sememangnya membebankan mereka dan jika dibiarkan, para petani terpaksa gulung tikar.
Oleh itu, pihak kementerian seharusnya mengawal harga racun supaya tidak dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru soalan saya, adakah pihak kerajaan ada bercadang untuk menguatkuasakan penetapan harga siling bagi racun? Selain itu, saya juga ingin memohon kerajaan agar menaiktarafkan infrastruktur pertanian bagi mempertingkatkan pengeluaran hasil pertanian. Antaranya membina jalan asas dan menaiktarafkan rancangan tanah berkelompok pertanian yang dibuka di setiap tempat, khususnya di kawasan Parlimen Setiu serta sistem pengairan padi yang tidak sempurna yang menyebabkan hasil tanaman para petani tidak dapat dimaksimumkan. Di samping itu juga, memajukan balik sawah-sawah terbiar yang sekian lama terbiar. Tuan Yang di-Pertua, perkara seterusnya ialah berkenaan Butiran 020400 - Perkhidmatan Veterinar. Isu penternak yang membiarkan haiwan ternakannya berkeliaran sudah sekian lama berlaku. Apa yang membimbangkan, perkara ini turut menyebabkan berlakunya kemalangan dan berbahaya serta membawa maut kepada pengguna jalan raya. Tidak dinafikan penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 bagi membolehkan pemilik dikenakan hukuman keras, termasuk penjara. Namun, isu ini dilihat masih lagi berleluasa. Justeru, kita memerlukan penguatkuasaan yang lebih tegas kepada pemilik. Soalan saya, adakah kementerian ada bercadang untuk meneliti semula beberapa perkara, termasuk langkah penguatkuasaan yang lebih efektif dan efisien? Selain itu, apa inisiatif kerajaan dalam memastikan pemilik haiwan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan seperti meletakkan tag nama kepada setiap haiwan ternakan tersebut? Tuan Pengerusi, merujuk kepada Butiran 050200 - Program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara. Saya ingin memohon penjelasan pihak kementerian berkenaan apakah perancangan terperinci mengenai peruntukan tersebut? Selain itu, berdasarkan kajian Malaysia hanya mampu memenuhi 70 peratus keperluan berbanding sasaran had sara diri 75 peratus. Oleh itu, penggunaan teknologi tinggi seperti drone, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan sistem data raya yang komprehensif mampu mengubah landskap sektor agromakanan negara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun yang akan datang. Soalan saya, sejauh mana Dasar Sekuriti Makanan Negara mengetengahkan penggunaan teknologi dalam pertanian, khususnya bagi memastikan kebergantungan import makanan dapat dikurangkan, sekali gus dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Global Food Security Index (GFSI). Untuk akhirnya Tuan Pengerusi, Butiran 40005 - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Saya ingin bertanya status pembinaan jeti pendaratan ikan merang yang setelah saya bangkitkan dalam perbahasan Titah Diraja yang lalu. Di samping itu juga, saya ingin memohon agar dipasang lampu limpah kepada nelayan yang menggunakan pangkalan bot ataupun penarik sebagai tempat pendaratan ikan dan kemudahan- kemudahan yang lain seperti tandas. Sekian, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Setiu. Yang Berhormat Bayan Baru.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus masuk kepada Butiran 010200 - Perancangan. Apakah food import bill iaitu pengimportan makanan pada tahun 2021? Saya juga ingin tahu tentang balance of trade pada tahun 2021. Apakah kejayaan negara kita atau MAFI mengurangkan import makanan negara? Butiran 020100 - Industri Padi dan Beras. Saya mohon MAFI jawabkan keberkesanan pemberian hak edaran eksklusif kepada pengedaran padi benih sah kepada PPK. Apakah keberkesanannya?
Adakah dia berjaya mengurangkan kelewatan padi benih sah kepada para petani dan juga apakah perkembangan stockpile benih padi sah oleh BERNAS yang di bawah syarat baru oleh BERNAS. Kita hendak tahu apakah perkembangan terkini tentang
perancangan stockpile benih padi sah. Apakah progress projek land consolidation untuk penanaman padi berskala besar juga. Kita mohon MAFI jawab. Butiran 020400 – Perkhidmatan Veterinar. Kita tahu bahawa ASF telah masuk ke Sabah dan Sarawak dan kita harap bahawa ia tidak datang ke Semenanjung. Jadi kita mahu DVS menjalankan penguatkuasaan ke atas produk-produk barangan babi seperti luncheon meat yang berasal daripada negara-negara yang ada ASF dan juga sukling pig dari Vietnam kerana kita tahu bahawa di pasaran masih ada tetapi penguatkuasaan itu agak kurang. Jadi perlu, kita perlu rancakkan penguatkuasaan dan harap DVS buat kerja dengan lebih bersungguh-sungguh. Butiran 020300 – Pertanian. Kita tahu bahawa antara kejayaan MAFI adalah daripada segi myGAP ya dan juga baru-baru ini atas inisiatif DOA juga, myGAP Pesticide Free telah dilancarkan. Kita harap bahawa program myGAP itu dirancakkan kepada petani-petani kecil supaya mereka menjaga food safety, keselamatan makanan, kurangkan pesticide supaya makanan kita itu kurang daripada maximum residue level (MRL) yang tidak membahayakan rakyat Malaysia. Butiran 030100 – FAMA. Kita tahu FAMA berusaha untuk membantu pemasaran tetapi ada terlalu banyak program sehinggakan menjadi satu - saya rasa pembaziranlah. Saya bagi contoh, Agrobazaar dalam FAMA, terdapat Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar K-Shoppe, Agrobazaar RnR, Agrobazaar Rakyat. Semua ini sebenarnya bertujuan yang sama dan akhirnya program ini menjadi begitu banyak dan setiap program sampai ke state, hanya RM10 ribu ke RM20 ribu setahun bantuan kepada pengusaha. Jadi kalau kita boleh consolidate, itu akan menjadi lebih baik untuk membantu rakyat. Kurangkan birokrasi, kurangkan overlapping. Butiran 040800 – Bioekonomi. Saya terpanggil untuk berucap untuk rakan-rakan kita di dalam bioekonomi kerana peruntukan dipotong sebanyak 50 peratus. Agak banyak ya. Masa saya menjadi Timbalan Menteri, peruntukan untuk bioekonomi sebanyak RM12 juta tetapi pada tahun lepas dipotong sehingga RM9 juta dan tahun ini menjadi RM4.5 juta sahaja. Jadi how do they survive? Bioekonomi ini membawa investment kepada sektor pertanian. Jadi harap kementerian tolonglah bioekonomi supaya mereka boleh survive. Butiran 040100 – Bertugas ke Luar Negara. Kita harap bahawa foreign agriculture attache di setiap tujuh buah negara atau region, membantu mempermudahkan, memperluaskan akses kepada market. Jangan mereka pergi sana, kerja. Saya tahu bahawa fail bertimbun-timbun dan pengusaha susah hendak akses kepada pasaran. Jadi mereka perlu berusaha dengan lebih kuat lagi untuk facilitate trade, membantu pemasaran. Butiran 050200 – Program Pemantapan Jaminan Bekalan Negara. Apakah tujuan program ini? Apakah ia akan dilaksanakan? Saya hendak tanya. Akhir sekali Butiran P.40008 – Agrobank. Sebagai bank pembangunan, kita mahu bank pembangunan ini membantu petani-petani kecil untuk akses kepada kredit, kurangkan birokrasi, membantu petani-petani kecil terutamanya bidang aquaculture. Akhir sekali Butiran P.090100 – Dasar Perancangan Strategik. Apakah tujuan butiran ini? Apakah program-program yang akan dilaksanakan? Program pembangunan yang dilaksanakan dan saya hendak tanya juga, berapakah perbelanjaan kerajaan MAFI dalam menyediakan Dasar Agromakanan Negara dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan kerana ia membayar kepada consulting firm. Yang kita hendak tahu kos tersebut. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru. Yang Berhormat Jerantut. Sila.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya terus sahaja Tuan Pengerusi kepada Butiran 0200000 – Bekalan Makanan Negara. Sewaktu sesi penggulungan dasar tempoh hari Yang Berhormat Menteri telah menyatakan kerajaan
akan melaksanakan penanaman padi secara berkesan dan teratur dengan menggunakan teknik-teknik moden melalui penglibatan pihak swasta untuk merancakkan penanaman dan pengeluaran padi di negara kita. Soalan saya, saya hendak bertanya. Baru-baru ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melancarkan benih padi yang terbaharu berteknologi nuklear di Sekinchan, Selangor. Apakah keistimewaan padi yang baru ditemukan ini dan mengapa ianya dilancarkan di Sekinchan? Apakah kelebihannya kawasan tersebut? Mengapa nama IS21, tidak diberikan nama-nama lain. Apakah ini kerana ada kerjasama dengan MOSTI menyebabkan kita hanya mengguna kod nombor sahaja, tidak seperti yang sebelum ini ada Mahsuri, Malinja dan sebagainya. Tuan Pengerusi, jumlah import makanan negara pada tahun 2020 berjumlah RM5.5 bilion, satu jumlah yang sangat besar. Kita ada pelbagai rancangan, daripada Rancangan Malaysia Pertama, Kedua hingga Kedua Belas sekarang ini tapi import makanan negara masih lagi mencanak. Persoalan saya bukan sahaja kita gagal menyediakan makanan yang cukup untuk kita tetapi daripada segi keselamatan makanan. Kalau kita lihat berdasarkan hasil pemantauan Kementerian Kesihatan pada tahun 2018 sehingga Ogos lalu, lebih 45 ribu sampel makanan dan bahan mentah termasuk daging, ikan, sayur-sayuran dan buah- buahan di pasar tempatan telah dianalisis. Daripada jumlah itu, sebanyak 2,654 atau 59 peratus sampel didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985. Apakah kementerian akan melaksanakan sebarang kerjasama dengan kementerian untuk memastikan makanan dan bahan mentah di pasaran tempatan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan- peraturan di bawahnya supaya bekalan makanan negara sentiasa selamat dan berkualiti untuk rakyat Malaysia. Butiran 10710 – Pembangunan Industri Lembu dan Kerbau Pedaging. Setakat ini negara masih lagi bergantung pada daging import. Kita tahu hampir 70 peratus daripada daging negara kita ini diimport terutama yang melibatkan daging lembu. Misalnya pada tahun lepas saja RM2.5 bilion nilai daging diimport, kambing saja RM879 juta. Terlalu banyak sedangkan negara kita mempunyai kemudahan yang sangat banyak untuk memastikan negara kita boleh mengeluarkan daging sendiri. Bagi saya, banyak kali saya sudah bercakap soal isu daging ini. Kerajaan boleh mempelbagaikan usaha. Antara yang boleh dilakukan ialah bagi meningkatkan pengeluaran daging ini, ramai lagi rakyat yang bersedia untuk mengusahakan ternakan lembu ini ataupun ternakan lembu pedaging ini. Cuma masalahnya ialah kemampuan rakyat ataupun penternak-penternak kita daripada segi modal dan juga saiz tanah yang kecil. Jadi kalau dapat kerajaan menyediakan kemudahan-kemudahan yang lebih banyak kepada penternak-penternak dan juga membenarkan mereka menggunakan tanah-tanah kerajaan yang masih ada lagi yang tidak digunakan lagi itu dengan kaedah ataupun cara yang lebih mudah kepada mereka. Butiran seterusnya ialah P.3007 – Jabatan Veterinar Malaysia. Hampir 70 peratus saya katakan tadi daging negara kita import. Di Jerantut misalnya kita ada Institusi Biodiversiti Veterinar Kebangsaan yang boleh membekalkan baka-baka lembu yang terbaik, baka-baka lembu yang berkualiti tinggi. Cuma saya mengharapkan agar institusi ini diperkasakan oleh kerajaan. Berikanlah peruntukan yang berpatutan, perlu kita salur kepada institusi ini untuk dilengkapkan dengan segala keperluan terutama daripada segi kakitangan, perkakas berteknologi moden agar ianya mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik. Tambahan lagi berikan peruntukan daripada segi membaik pulih segala kemudahan yang ada di situ. Saya difahamkan pagarnya rosak, peruntukan untuk membaiki padang ragutnya tidak dapat diselenggarakan menyebabkan baka-baka yang terbaik itu tidak dapat diberikan sepatutnya daripada segi makanan dan sebagainya. Saya mengharapkan agar kerajaan memberikan perhatian supaya institusi ini terus perkasa dan memberikan
khidmat kepada terutamanya di kawasan Jerantut dan sekali gus boleh menjadikan kawasan Jerantut sebagai hab daging negara suatu masa nanti.
Tuan Pengerusi, seperkara lagi saya ingin bertanya ialah berkenaan dengan Lembaga Pertubuhan Peladang yang terakhirnya. Peruntukan yang diberi kepada Lembaga Pertubuhan Peladang oleh kerajaan, persoalan saya ialah bagaimanakah peruntukan yang ada di Lembaga Pertubuhan Peladang itu dapat disalurkan kepada para petani kita kerana hari ini masih lagi ada masalah antara ahli-ahli pertubuhan peladang ini untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan di Lembaga Pertubuhan Peladang. Tuan Pengerusi, terima kasih atas peluang yang diberikan kepada saya.
Terima kasih Yang Berhormat Jerantut. Yang Berhormat Tenom, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin terus mengemukakan beberapa isu dan soalan kepada kementerian. Pertama, di bawah Butiran 040000 – Program Khusus. Seperti mana yang saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain bangkitkan tentang kenaikan harga baja dan racun yang mendadak. Saya difahamkan oleh kementerian bahawa sebab utama kenaikan ini adalah akibat pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan pengurangan tenaga kerja yang memberi implikasi kepada jumlah pengeluaran, kesukaran memperoleh bahan mentah dan kenaikan kos logistik. Namun saya kurang yakin dengan inisiatif dan langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kementerian Pertanian untuk mengurangkan kesan kenaikan harga racun kimia dan baja melalui inisiatif dan langkah-langkah seperti menggalakkan petani mengamalkan pengurusan bersepadu, menggalakkan penggunaan import pertanian berasaskan mikroorganisma berfaedah dan menggalakkan penggunaan bahan sisa tanaman seperti jerami padi untuk dijadikan baja kompos. Ini kerana kesemua langkah ini sebenarnya memerlukan masa dan latihan yang panjang. Sebab itu saya berpendapat bahawa kementerian perlu mengambil langkah jangka pendek yang lebih drastik dengan memberi subsidi racun dan baja buat petani- petani kecil terutamanya dalam masa pandemik ini. Saya juga amat mendukung usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam usaha untuk menghasilkan hasil pertanian yang lebih organik dengan menggunakan kaedah-kaedah pertanian yang lebih berdaya saing, moden, mesra alam dan holistik. Apatah lagi dengan usaha negara-negara rakan dagang kita seperti Eropah dan Amerika Syarikat untuk melaksanakan pelbagai dasar, menggalakkan perubahan ke arah amalan hijau dengan meningkatkan kesedaran pemain-pemain industri mengenai keperluan mengamalkan aktiviti rendah karbon. Pengeluaran produk pertanian yang menjurus ke arah aktiviti rendah karbon ini amat penting jika kita mahu terus kekal memasuki pasaran negara-negara besar tersebut. Walau bagaimanapun, saya mohon dijelaskan lebih lanjut di bawah butiran mana langkah- langkah dan inisiatif yang telah diberikan kepada saya oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di dalam Anggaran Belanjawan Persekutuan 2022. Bolehkah kementerian memberikan penjelasan dan perincian mengenai perkara ini? Berapakah peruntukan khusus yang diberikan dan apakah program-program yang dirancang dan jabatan atau agensi manakah di bawah kementerian yang bertanggungjawab untuk membantu menggalakkan petani untuk mengeluarkan produk pertanian organik dan mengajar petani-petani kecil ini mengamalkan pengurusan perosak bersepadu dan menggalakkan penggunaan bahan sisa tanaman dalam teknik pertanian. Selain daripada itu, saya ingin mencadangkan agar kementerian membantu dan mempergiatkan kembali sistem tagal yang amat sinonim dengan kehidupan dan tradisi suku kaum KDM ataupun suku kaum pedalaman di Sabah. Bukan sahaja sistem tagal ini
dapat memulihara dan memelihara sungai dan alam sekitar, namun ia sebenarnya sedikit sebanyak dapat memberi sumber pendapatan kepada penduduk di pedalaman. Kedua, di bawah Butiran 94000, di mana sebanyak RM108 juta diperuntukkan bagi projek pemacu pertanian. Saya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada kementerian mengenai projek-projek yang telah disenaraikan di bawah butiran ini dan saya ingin tahu, apakah projek-projek di bawah butiran ini yang dibuat di negeri Sabah. Ketiga, di bawah Butiran 16600 – Perancangan Rancangan Pengairan Negeri Sabah. Saya ingin penjelasan daripada kementerian, apakah usaha dan tindakan yang telah diambil untuk membantu membaiki saliran tanaman padi di Daerah Tenom, khususnya di Kampung Marais, Kuala Tomani dan Kampung Pogogan selepas dilanda banjir pada bulan Jun tahun ini. Akhir sekali, di bawah Butiran 14800 – Pembinaan dan Pembaikan Jalan Ladang. Saya mohon perincian projek-projek pembinaan dan pembaikan jalan ladang yang dirancang untuk membantu petani-petani di kawasan saya. Itu sahaja daripada saya. Sekian, terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Tenom. Yang Berhormat Batang Lupar, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin menyentuh Butiran 020100 – Industri Padi dan Beras. Pemberian subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi sebanyak RM1.5 bilion termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta dijangka akan memberi manfaat yang menyeluruh kepada warga peladang dan pesawah di seluruh negara. Namun demikian berbanding tahun lalu, peruntukan bagi Butiran 020100 dilihat berkurangan. Adakah dengan pengurangan ini akan dapat mengekalkan momentum pengeluaran makanan khususnya tanaman padi di negara ini? Tumpuan berterusan harus diberikan untuk memastikan pengeluaran padi dan tahap sara diri beras negara dapat dipertingkatkan. Mengenai Butiran 020200 – Pengairan dan Saliran. Satu jumlah besar pastinya diperlukan bagi menampung kos pelan pengairan seperti yang dirangka MAFI yang mana tidak selaras dengan apa yang diperuntukkan bagi tahun 2022. Berdasarkan kepada kekangan peruntukan tahun hadapan, bagaimana kementerian merancang dalam memberikan keutamaan kepada kawasan yang benar-benar memerlukan sistem pengairan dan saliran yang lengkap supaya tanaman padi boleh dilaksanakan? Bagi memastikan pengeluaran sumber makanan tidak terjejas, program peningkatan sistem pengairan dan saliran khususnya bagi penanaman padi amatlah diperlukan. Di bawah Program Pembangunan Pertanian (IADA) Batang Lupar, beberapa projek pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran perlu dilaksanakan. Antaranya ialah Program Pembangunan Infrastruktur Pengairan dan Saliran Jelapang Padi Lingga- Banting, Projek Pembinaan dan Naik Taraf Infrastruktur Tersier di Stumbin dan cadangan sistem pengairan di kawasan Seduku. Berdasarkan Butiran 020200, terdapat sedikit peningkatan bagi anggaran peruntukan untuk tahun ini berbanding tahun lepas. Melalui peruntukan tahun lalu, berapakah kawasan yang telah dilengkapi dengan sistem pengairan dan saliran di seluruh Malaysia dan bagaimana dengan pengagihan tahun hadapan? Di tapak projek di kawasan Bijat-Stumbin, dalam kawasan saya yang berkeluasan seluas 1,304 hektar, adalah dalam kategori separa lengkap manakala di kawasan Lingga- Banting dan Seduku pula yang seluas 3,600 hektar masih lagi tidak dilengkapi dengan infrastruktur ini. Bagaimanapun, projek pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran bagi kawasan ini sedang dalam pelaksanaan di peringkat fasa satu dan dijangka siap pada September 2022. Anggaran peruntukan bagi tahun hadapan sememangnya tidak mencukupi untuk menampung kos pembangunan infrastruktur ini. Butiran 01940 – IADA Batang Lupar dan Butiran 20012 – IADA Batang Lupar. Projek padi di bawah IADA Batang Lupar masih lagi berdepan dengan beberapa cabaran
dan isu bagi memastikan ia berjaya mencapai objektifnya. Antara objektif pelan pembangunan projek padi di sini adalah untuk mengeluarkan enam tan metrik padi sehektar semusim, penanaman dua musim setahun dan seterusnya menyumbang kepada 15 peratus hasil setahun hasil pengeluaran padi di Sarawak. Untuk tahun ini, sebanyak RM535,000 yang diperlukan untuk pembangunan kawasan tanaman padi manakala RM845,000 diperlukan untuk program pengurusan teknologi dan kelestarian pertanian. Saya berharap daripada anggaran peruntukan dalam Butiran 01940 dan Butiran 20012, kos untuk kedua-dua program ini dapat ditampung. Butiran 5100 – Dana Jaminan Makanan dan juga Butiran 050200 – Program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan bermula dari tempoh kritikal Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu. Terima kasih kerana kerajaan turut menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk dalam bentuk bantuan input pertanian, ternakan dan perikanan untuk menggalakkan pengeluaran domestik. Saya dapat melihat bahawa pelaksanaan dana ini merupakan pelengkap kepada pelbagai subsidi insentif dan bantuan yang disediakan di bawah MAFI kepada golongan sasar iaitu pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha pertanian. Walau bagaimanapun, dengan jumlah peruntukan yang banyak di bawah Dana Jaminan Makanan, kerajaan seharusnya memangkinkan usaha ini secara jangka masa panjang sesuai dengan namanya sebagai jaminan. Telah banyak tanah pertanian telah bertukar status kepada tanaman komoditi yang nyata bertentangan dengan matlamat ini. Saya mohon agar MAFI turut sama mengetengahkan agenda ini sebagai sebahagian daripada perancangan Dana Jaminan Makanan. Tanah-tanah yang berpotensi dibangunkan juga tidak digunakan oleh masyarakat setempat. Begitu juga hasil pertanian di lapangan sememangnya adalah banyak. Walau bagaimanapun, rantaian bagi pemasaran hasil-hasil pertanian ini yang tidak diselaraskan dengan betul menyebabkan ia hanya dijual di pasar-pasar tempatan di sesuatu kawasan dan berlaku lambakan hasil tanaman. Pemasaran sesuatu hasil pertanian atau makanan haruslah dilihat dengan lebih luas termasuk jaringan perhubungan jalan raya dan pengangkutan seperti di kawasan saya Batang Lupar. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Batang Lupar. Saya mempersilakan Yang Berhormat Tampin.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Tampin akan menyentuh dua perkara. Pertama, Butiran 020300 – Pertanian. Walaupun kerajaan telah banyak melakukan perkara bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, namun ia tetap sama seolah-olah tidak ada sedikit pun peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian. Di mana kita dapati pada tahun 2021, negara telah mengimport sayur-sayuran dan buah- buahan sejumlah RM55 bilion berbanding dengan tahun 2020 berjumlah RM45 bilion. Soalan saya, apakah strategi yang telah dan akan dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan jumlah import sayur-sayuran dan buah-buahan dapat dikurangkan? Bagaimanakah kerajaan berusaha meningkatkan pengeluaran pertanian negara? Sejauh mana penglibatan golongan belia dalam aktiviti pertanian? Apakah kerajaan mempunyai statistik yang lengkap berkaitan dengan tanah pertanian terbiar yang tidak diusahakan? Sejauh mana kerajaan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan generasi muda terlibat dengan pertanian yang boleh mendatangkan hasil yang baik? Soal pengairan dan saliran pertanian amat penting dalam memastikan kelangsungan aktiviti pertanian dapat berjalan dengan baik. Namun, terdapat sejumlah projek penambahbaikan saliran banyak yang tertangguh untuk disiapkan. Ia
menyebabkan penanaman padi tidak dapat dilakukan dan pendapatan petani terjejas kerana sawah tidak dapat diusahakan. Sepertimana yang berlaku di Kampung Londah setelah dua tahun tidak dapat diusahakan. Mengapakah perkara ini berlaku? Apakah ada usaha yang lebih konkrit boleh dilakukan oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini? Apakah kerajaan tidak mencukupi dana? Kalau tidak cukup dana minta lagi untuk menyelesaikannya atau disebabkan oleh sistem birokrasi yang sukar dan complicated. Barang pertanian juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan petani dapat melaksanakan tanggungjawab mereka. Saya ingin bertanya kepada kerajaan, apakah tindakan yang boleh dilakukan dalam memastikan harga barangan yang berkaitan dengan pertanian seperti baja, racun dan alat-alat pertanian tidak meningkat harga dengan mendadak? Kita sedia maklum peningkatan harga ini bukan sahaja membebankan para petani tetapi juga pengguna. Sekiranya perkara ini tidak diurus dengan baik, kesan daripada suasana ini menyebabkan anak-anak muda tidak bersedia untuk menceburkan diri dalam pertanian. Kerajaan harus berusaha memastikan barang-barang ini sentiasa dalam harga kawalan. Perkara kedua yang saya hendak sebut ialah Butiran 030100 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Di mana diperuntukkan sejumlah RM141 juta sebagai badan yang bertanggungjawab memasarkan hasil pertanian sama ada yang berskala besar ataupun kecil. Namun apa yang berlaku sepanjang PKP, FAMA tidak melaksanakan peranan yang begitu sepenuhnya. Ini kerana terdapat ramai petani secara kecil-kecilan tidak dapat memasarkan hasil pertanian mereka yang menyebabkan hasil tanaman mereka terbiar begitu sahaja. Demikian juga kerajaan secara berterusan mengimport hasil tani daripada negara jiran dan berlakulah persaingan harga antara barang import dan hasil tani tempatan. Ini menyebabkan hasil tani penduduk tempatan tidak dapat dipasarkan dengan baik. Kalaupun dapat dipasarkan, ia terpaksa bersaing dengan hasil pertanian import yang lebih rendah harganya. Oleh sebab itu, Tampin menggesa supaya kerajaan lebih mengutamakan hasil pertanian tempatan daripada barang import. Sekian, terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Tampin. Silakan Yang Berhormat Tebrau.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Butiran yang saya ingin sentuh adalah Butiran 020600 – Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia. Adakah fungsi MAQIS dapat dimainkan dengan baik dengan peningkatan bajet RM2 juta? Ini kerana MAQIS memainkan peranan yang penting dalam pemeriksaan makanan dan menguatkuasakan perkara yang berhubung dengan makanan di pintu masuk mengikut Akta Makanan 1983. Kalau kita lihat banyak kes rampasan yang dibuat oleh MAQIS pada bulan Ogos, September dan Oktober 2021, sejauh manakah tindakan kerajaan dalam pemantauan prosedur mengimport sayur-sayuran dan buah-buahan di negara kita? Saya terima beberapa aduan daripada pengimport sayur-sayuran yang meminta bantuan saya untuk keluarkan kontena mereka dalam masa yang sewajarnya oleh sebab sayur dalam kontena akan rosak kalau ditahan lama di port tertentu. Kontena ditahan atas sebab tidak mematuhilah syarat-syarat airport ya atau custom atau tidak mematuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh MAQIS. Akan tetapi, masalahnya mengapa kalau ada masalah yang tidak mematuhi syarat, bukankah kita ada penyelesaian untuk saman mereka atau pengkompaunan mereka? Akan tetapi ini tidak dilakukan ya. Ada kes yang ditahan sehingga tiga minggu tanpa di saman atau diberikan notis kompaun. Jadi ini tidak wajarlah berlaku. Peliknya saya difahamkan masalah notis
kompaun tidak boleh dikeluarkan dalam masa yang singkat ialah sebab kerana tidak ada kelulusan dari Pejabat Penolong Pendakwa Raya (PPP), dengan izin. Jadi, saya berharaplah isu ini tidak akan berlaku dan sebab-sebabnya harus menangani dengan baik. Kalau boleh ada sesi dialog di antara MAQIS atau kementerian dengan semua pengimport supaya ini tidak akan berlaku lagi. Ini kerana kerosakan sayur- sayuran atau buah-buahan akan menjejaskan supply, dengan izin di pasaran. Ini akan buat harga sayur-sayuran atau buah-buahan meningkat oleh sebab masalah yang berlaku semasa mereka mengimport. Butiran seterusnya adalah Butiran 020700 – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Adakah peruntukan RM106 juta ini termasuk elaun kepada nelayan dan juga kos menaik taraf peralatan pukat dan bot. Jika ada, adakah ini cukup memandangkan masa pandemik, ramai nelayan sudah terjejas dan hilang mata pencarian. Juga, bagaimanakah pemantauan LKIM telah memastikan hasil tangkapan nelayan semakin meningkat dan seterusnya meningkatkan pendapatan nelayan. Seterusnya, Butiran 020800 – Lembaga Pertubuhan Peladang. Semua sedia maklum bahawa kita sudah ketinggalan jauh daripada segi teknologi dari negara jiran dan adakah peruntukan ini mencukupi bagi meningkatkan teknologi asas tani kita. Sejauh manakah hasil buah tangan dapat dimanfaatkan dalam negara tanpa mengimport hasil dari luar? Satu senario yang pelik yang saya dapat tahu adalah, ada orang yang memiliki tanah tetapi terbiar sahaja. Akan tetapi, ada orang yang ada modal dan ilmu dan pengetahuan tetapi tidak ada tanah. Jadi, adakah Kerajaan Persekutuan atau negeri sudi kerjasama untuk buat matching dengan izin antara pemilik tanah dengan orang yang berminat dalam industri pertanian berteknologi tinggi supaya negara kita akan menghasilkan cukup makanan untuk disalurkan kepada warga kita. Itu sahaja daripada saya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Merbok.
Terima kasih, Tuan Pengerusi. Saya terus pergi kepada Butiran 040400 – Subsidi Harga Padi, 040500 – Subsidi dan Insentif Tanaman Padi dan 040800 – Malaysian Bioeconomy Development Corporation. Saya melihat tiada perubahan dari sudut bajet tersebut. Soalan saya, adakah ini mencukupi setelah mengambil kira situasi COVID-19 yang belum lagi berkesudahan. Ini kerana, saya tengok tiada peningkatan. Seterusnya saya pergi kepada Butiran 04700 – Pembangunan Industri Padi dan 10012 – Bahagian Pembangunan Industri Padi. Saya mohon penjelasan termasuklah 10013 – Bahagian Pengairan dan Saliran, 12800 – Pemodenan Sistem Pengairan Padi, 15400 - Rancangan Pembangunan Sistem Saliran Pertanian. Jadi, persoalan saya hendak tanya adakah lima yang saya sebutkan tadi ada dibajetkan ataupun diperuntukkan kepada pengairan di Merbok? Ini kerana, Merbok tidak di bawah MADA. Jadi, ia memang pengairan untuk sawah ini betul-betul mengharapkan air hujan. Biasanya dalam situasi sekarang. Jadi, saya mohonlah sekiranya ada projek pengairan dan saliran yang baik untuk Merbok. Untuk pengetahuan Tuan Pengerusi, kita pernah mendapat bajet untuk membuat ban Merbok yang tujuannya untuk mengelakkan air masin masuk tetapi saya melihat sendiri sehingga hari ini, ban tersebut sebenarnya gagal. Ini kerana, air masin sudah masuk dan sebahagian dari kawasan padi-padi sudah tidak boleh diusahakan. Walaupun saya tahu JPS telah mendapat peruntukan tambahan untuk membaiki tetapi yang rosak itu banyak. Seterusnya, saya pergi kepada Butiran 15600 – Program Kawalan Banjir Kawasan Pertanian. Saya tengok bajetnya menurun. Oleh sebab akhir-akhir ini banyak berlaku bencana kepala air, khususnya di Daerah Merbok dan juga Jerai walaupun baru-
baru ini banyak di Yan. Akan tetapi, saya telah menerima banyak aduan dan jumlah kerosakan itu memerlukan – kalau satu petani sekitar puluhan ribu ringgit. Jadi, saya mohon untuk yang bajet sebegini mengambil kira sejauh mana kecepatan kita untuk menyampaikan. Ini kerana, ada kalanya petani itu terpaksa membaikinya sendiri dan akan menelan kos yang tinggi. Ini kerana, apabila banjir lumpur datang, semua kita punya sawah tenggelam. Akhir sekali adalah Butiran 22300 – Kawasan Penternakan Babi. Meningkat daripada RM612,000 hingga kerajaan RM3 juta. Jadi, soalan saya apakah kenaikan ini terkait dengan cara penyembelihan ataupun teknologi baru untuk menternak babi supaya ia lebih hygiene. Jadi, saya mohon penjelasan pihak Menteri. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Merbok. Yang Berhormat Parit. Silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus kepada Butiran 020100 – Industri Padi dan Beras. Menerusi butiran ini, saya melihat terdapat penurunan peruntukan daripada RM63.1 juta kepada RM59.3 juta. Jadi, saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, kenapakah peruntukan ataupun butiran ini dikurangkan. Saya ingin mengetahui sehingga kini, berapakah peratus tahap kebergantungan negara terhadap beras import dan apakah usaha yang telah dilaksanakan oleh kementerian dalam mengurangkan kebergantungan terhadap beras import. Seterusnya, 020600 – Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Tahun lalu, negara kita digemparkan dengan pembongkaran kartel daging import. Isu ini merupakan isu besar, di mana ia menimbulkan keraguan yang besar dalam kalangan rakyat terhadap kualiti dan jaminan produk yang masuk ke negara kita, sama ada halal ataupun tidak. Saya ingin mengetahui usaha yang telah dilaksanakan oleh kementerian dalam memastikan kejadian kartel daging import ini tidak akan berulang pada masa akan datang. Apakah mekanisme baharu yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam memastikan pengurusan daging import halal dapat diuruskan dengan baik tanpa berlaku ketirisan. Seterusnya, Butiran 040500 – Subsidi dan Insentif Tanaman Padi. Saya melihat peruntukan sebanyak RM960 juta melalui Bajet 2022 ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap nasib pesawah dalam negara. Namun begitu, peruntukan yang besar ini seharusnya dipastikan benar-benar sampai kepada petani. Kita tidak mahu berlaku ketirisan terhadap peruntukan yang besar ini. Saya ingin mengetahui, bagaimanakah kementerian akan memastikan subsidi benih padi ini benar-benar dapat dinikmati oleh para petani? Adakah terdapat sebarang bentuk kawalan terhadap harga benih padi di peringkat pengilang padi, bagi mengelakkan manipulasi harga padi. Kita baru-baru ini telah pun dengar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melancarkan benih padi baharu berteknologi nuklear tinggi di sekitar Sekinchan, kalau tidak silap saya. Jadi, saya mohon kepada kementerian untuk menjelaskannya dan apakah asal usul benih padi tersebut. Seterusnya, Butiran 22500 – Projek Lembu Pedaging. Saya merasakan sudah sampai masanya untuk kerajaan mempertingkatkan industri penternakan lembu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber daging dari luar negara. Saya merasakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi projek lembu pedaging ini tidak mencukupi dan seharusnya diberikan lebih kerana ia masih tidak mampu untuk menyelesaikan masalah kebergantungan terhadap daging import. Adakah terdapat perancangan oleh pihak kementerian bagi memperkemas kembali pengurusan Pusat
Fidlot Nasional sebagai usaha mempertingkatkan pengeluaran daging di dalam negara kita. Tuan Pengerusi, seterusnya Butiran 020200 – Pengairan dan Saliran Pertanian. Antara masalah yang sering dihadapi oleh pesawah padi ialah infrastruktur pengairan seperti tali air, struktur pengairan dan jalan ladang yang kurang sempurna termasuklah stesen pam pengairan yang lama dan uzur. Jadi, saya ingin mengetahui adakah terdapat sebarang perancangan oleh kerajaan untuk menaik taraf rumah pam pengairan, khususnya di Parlimen Parit sebanyak tujuh tempat khususnya, bagi membantu para pesawah di kawasan Parlimen Parit meningkatkan hasil pengeluaran mereka. Seterusnya, Butiran 20002 – IADA - Seberang Perak. Ini pun saya ingin mohon kepada kementerian untuk menjelaskan tentang kawasan di luar jelapang padi, di mana Parlimen Parit perlu dimasukkan di dalam di bawah seliaan perairan IADA Seberang Perak.
Menerusi peruntukan sebanyak RM3.5 juta tahun 2022 ini saya ingin mengetahui, adakah terdapat sebarang perancangan oleh pihak kerajaan bagi menaik taraf kawasan sawah padi di luar jelapang, khususnya di Parlimen Parit kepada kawasan Jelapang di bawah pentadbiran IADA, Seberang Perak? Saya juga ingin bertanya, apa kekangan- kekangan serta status terkini, khususnya tentang kawasan sawah 3,190 hektar di Parlimen Parit itu yang akan diangkat untuk dijadikan di bawah pengairan IADA, Seberang Perak? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Parit. Yang Berhormat Tangga Batu.
Terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri. Saya ingin menyentuh Butiran 020100 – Industri Padi dan Beras. Anggaran peruntukan dikurangkan dari RM63,092,400 kepada RM59,343,000. Saya ingin mengetahui sama ada, ada peningkatan dalam pendapatan pesawah dua tahun lepas, purata pendapatan hanyalah RM500 sebulan? Untuk menghasilkan padi, pesawah- pesawah terpaksa meracun sembilan kali. Kos amat tinggi. Apa yang membuatkan pesawah bertahan adalah semangat untuk membantu keselamatan makanan negara. Mereka menahan diri daripada mengambil jalan mudah dengan menjual tanah pertanian ini. Adakah kementerian mempunyai cadangan bagaimana membantu meningkatkan pendapatan pesawah, selain daripada meningkatkan subsidi? Sudah kah kementerian mengadakan penyelidikan atau inovasi agar beras yang dihasilkan lebih berkualiti tinggi? Tadi saya dengar bahawa Yang Berhormat Parit mengatakan sudah ada satu benih padi yang berteknologi tinggi tetapi adakah itu boleh digunakan oleh pesawah-pesawah yang berskala kecil? Ini supaya kita dapat lebih banyak padi dihasilkan setiap hektar agar kita boleh mengurangkan jumlah import beras yang berkualiti, malah boleh mengeksport pula. Seterusnya, Butiran 010300 - Pembangunan iaitu antara fungsi menentukan pembangunan yang mampan bagi sektor penternakan, pertanian dan perikanan. Dalam soalan saya mengenai harga ayam dua minggu lepas, Yang Berhormat Menteri menjawab ia disebabkan oleh semua makanan ayam diimport. Adakah kementerian telah membuat kajian untuk menghasilkan makanan ayam sendiri agar kita tidak bergantung kepada import makanan ayam? Dengan ini, harga ayam boleh dikurangkan. Saya percaya kita mempunyai ramai pakar dalam bidang ini yang boleh menghasilkan makanan ayam yang berkualiti dan lebih murah. Seterusnya, Butiran 020300 – Pertanian, juga yang mana ia peruntukan dikurangkan daripada RM182,780,600 kepada RM180,942,300. Jabatan Pertanian di kawasan terutamanya di luar bandar berfungsi membantu petani-petani, peladang dan pekebun dengan latihan-latihan dan tunjuk ajar agar golongan ini dapat melakukan kerja- kerja mereka dengan ilmu supaya dapat menghasilkan produk yang lebih tinggi.
Jadi, Jabatan Pertanian juga menjadi contoh kepada golongan petani bagaimana mengusahakan ladang tanaman mereka dengan betul. Saya ingin bertanya, berapa kerapkah Yang Berhormat Menteri turun melihat apakah perkembangan atau kelestarian kawasan-kawasan pertanian dalam kawasan dan bimbingan Jabatan Pertanian? Saya ingin merujuk Melaka Tropical Fruit Farm yang berada di Sungai Udang. Saya tahu bahawa ini adalah mungkin syarikat pelancongan yang mengadakan fruit farm itu di situ dengan kerjasama Jabatan Pertanian. Jadi, ada juga yang mengadu kepada saya kolam ikan itu dilitupi semalu. Jadi, ini kolam ikan kah atau kolam semalu? Penuh ya. Then, rusa dan kuda yang dibela, kurus sahaja. Jadi, Yang Berhormat Menteri perlu melihat setiap sen yang dikeluarkan itu dapat menghasilkan lebih baik. Harapan tinggi rakyat agar dapat merealisasikan kata-kata “pertanian adalah perniagaan”. Jika dapat dihasilkan produk yang berkualiti dan banyak kuantiti, maka harga sayur-sayuran tidaklah melambung seperti sekarang. Saya akhiri dengan serangkap pantun. Tropical Fruit Farm terkenal namanya, DUN Sungai Udang tempat letaknya, Petani dan peladang perlu di tingkat pendapatannya, Mohon turun segera melihat keadaannya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tangga Batu. Yang Berhormat Kemaman.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya teruskan kepada Butiran 30000 – Aset. Tuan Pengerusi, berdasarkan Butiran 30000 berkenaan aset bagi kedua-dua perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan menunjukkan peningkatan yang amat ketara. Antara aset bagi perbelanjaan mengurus pada tahun 2022 menunjukkan peruntukan sebanyak RM5 juta berbanding tiada peruntukan sebelum ini. Manakala bagi perbelanjaan pembangunan pula, anggaran peruntukan aset pada tahun 2022 adalah sebanyak RM811.2 juta berbanding RM352.1 juta pada tahun 2021. Oleh itu, selari dengan pertambahan peruntukan aset kementerian ini, saya bagi pihak para petani di kawasan Parlimen Kemaman ingin memohon kepada pihak kementerian iaitu bagi memastikan jentera pembajak untuk Pejabat Pertanian Daerah Kemaman ditambah bagi memudahkan aktiviti pertanian, khususnya tanaman padi dan kepentingan petani-petani lain. Oleh itu, saya yakin para petani kini hanya bergantung kepada perkhidmatan pembajak dari Pejabat Peladang Negeri Jentera (PPNJ). Oleh itu, saya ingin memohon kepada pihak kementerian untuk mendapatkan dua unit pembajak sama ada untuk membajak sawah dan juga untuk pertanian lain bagi Pejabat Pertanian Daerah Kemaman. Saya yakin dengan peruntukan pembajak baharu ini akan merancakkan lagi aktiviti pertanian di Daerah Kemaman, seterusnya sedikit sebanyak mampu memacu ekonomi secara mikro di Daerah Kemaman pada masa yang akan datang. Seterusnya Tuan Pengerusi, saya ingin sentuh di bawah Butiran 020400 – Perkhidmatan Veterinar iaitu sejauh mana Program Ternakan Lembu Pedaging Fidlot berjaya mengurangkan jumlah import agromakanan, khususnya berasaskan ternakan seperti daging? Berapa peratus kah jumlah import daging untuk pasaran negara sebelum dan selepas Program Ternakan Lembu Pedaging Fidlot ini dijalankan? Selain itu, saya ingin memohon kepada pihak kementerian menyatakan statistik terkini usahawan ternakan lembu fidlot ini berasaskan negeri dan berapa ramaikah generasi muda terlibat dalam program ini? Di samping itu juga, sekiranya berdasarkan penilaian pihak kementerian bahawa perancangan-perancangan yang telah dilaksanakan masih belum mampu mencukupi bekalan daging untuk pasaran negara.
Saya mohon penjelasan pihak kerajaan mengenai langkah-langkah drastik yang bakal dilaksanakan bagi menangani situasi tersebut, khususnya untuk tahun hadapan dalam tempoh pasca pandemik ini. Apabila menyentuh isu ternakan, isu kenaikan harga makanan ternakan juga perlu diambil perhatian. Bagaimanakah pihak kerajaan menyelesaikan isu ini untuk kenaikan harga makanan ternakan yang meruncing yang menjadi beban kepada para penternak? Seterusnya, perkara kedua yang saya ingin sentuh bawah butiran ini juga iaitu mengenai sejauh manakah langkah-langkah pengawalan ketat diambil oleh pihak kementerian bagi menjamin keselamatan daging yang telah dipasarkan ke dalam negara ini, khususnya melibatkan daging import? Kita tidak mahu isu seperti kartel daging yang pernah tular suatu ketika dahulu kembali berulang lagi yang menatijahkan kebimbangan dan kegusaran yang amat besar kepada rakyat, khususnya umat Islam di negara ini. Seterusnya Butiran 020700 – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Saya ingin menyentuh Platform Digital LKIM yang diwujudkan bagi membantu para nelayan memasarkan hasil tangkapan secara dalam talian. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang kepada para nelayan untuk meningkatkan pendapatan mereka apabila aktiviti jualan hasil laut berjaya dipasarkan tanpa melibatkan orang tengah. Perkara pertama yang ingin saya sentuh ialah sama ada kementerian mempunyai mekanisme khusus untuk melengkapkan para nelayan ini dengan ilmu digital agar objektif program yang dirangkakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada para nelayan itu sendiri. Kita tidak mahu akhirnya para nelayan kita kembali kepada rutin yang lama. Akibatnya, gagal menguasai teknologi semasa. Sementelah lagi seperti yang kita sedia maklum, para nelayan kebiasaan terdiri daripada orang yang lama, orang tua yang secara relatifnya agak ketinggalan daripada dunia teknologi berbanding dengan golongan muda ini. Seterusnya, perkara kedua pula ialah sejauh manakah platform digital ini mampu membantu pembeli mendapatkan ikan dan hasil laut yang lebih murah berbanding harga pasaran terkini yang agak mahal? Lebih-lebih lagi dalam situasi pasca pandemik ini, di mana harga ayam turut meningkat naik secara mendadak, amat membebankan para pengguna khususnya. Itu sahaja Tuan Pengerusi. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kemaman. Akhir sekali, Yang Berhormat Tumpat. Kalau boleh, ringkas.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Pertamanya, saya ingin merujuk kepada Butiran 40003 – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Peruntukan Pembangunan di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang. Tuan Pengerusi, sebanyak RM71.05 juta diperuntukkan, telah diluluskan kepada LPP untuk tahun 2022 dan di sini terdapat peningkatan sekali ganda berbanding tahun 2021 iaitu RM35.6 juta. Saya rasa amat bersyukur dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan di atas peruntukan yang disalurkan ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib ahli-ahli Peladang dan juga Pertubuhan Peladang dalam membantu golongan sasar ini, terutamanya mereka yang terkesan dan tertekan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara. Jumlah peruntukan yang besar ini dapat memastikan LPP dapat melaksanakan program pembangunan dan membantu merancakkan ekonomi dan juga mengurangkan beban para pengusaha tani skala kecil dan sederhana, terutamanya mereka yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti seperti pertanian, penternakan, perikanan, akuakultur dan industri asas tani. Semestinya pelaksanaan program melalui peruntukan daripada kerajaan ini dapat meningkatkan hasil pendapatan dan memberi semangat baharu kepada golongan sasar di luar sana. Sesi libat urus secara terus dengan ahli-ahli dan wakil Peladang serta PPK memberikan impak yang amat positif ke atas memperkasakan industri pertanian. Ia
dibuktikan dengan bajet yang telah diluluskan dan memberi kesan terus kepada kumpulan sasar. Jadi, tahniah dan terima kasih kepada kerajaan. Seterusnya Butiran 020800 - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Dalam butiran ini saya ingin menyentuh mengenai beberapa saranan, khususnya menghadapi era pemulihan pasca pandemik ketika ini. Saya ingin mengetengahkan cadangan pelaksanaan Program Sentuhan Prihatin Peladang yang bernilai RM27.9 juta yang melibatkan pemberian voucher bernilai RM500 yang dikhususkan kepada bantuan bekalan input pertanian dan barangan keperluan asas. Program ini sangat penting kerana ia adalah sebahagian daripada inisiatif kepada kumpulan sasar sebagai galakan kepada mereka untuk mengeluarkan hasil pertanian peladang selain memastikan nasib para peladang terus terbela. Perkara seterusnya mengenai Bantuan Khas Sara Hidup pesawah yang memerlukan peruntukan sebanyak RM158 juta. Bantuan ini akan dimanfaatkan kepada 262,319 orang pesawah dan di kawasan jelapang mahupun di luar jelapang. Kita sedia maklum bahawa ketika negara berdepan pandemik, kebergantungan negara kepada pengeluaran makanan sangat kritikal. Maka, sudah tentu jasa golongan pesawah ini perlu diberikan perhatian yang khusus oleh kerajaan. Oleh itu, saya mohon pertimbangan kerajaan terhadap dua cadangan yang dikemukakan ini. Seterusnya, Butiran 020600 – Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Saya rasa Ahli Yang Berhormat tadi ada sebut. Saya skip yang ini. Walau bagaimanapun, kita mengharapkan supaya- saya ingin mengetahui status pendakwaan terhadap pegawai-pegawai yang terlibat dalam kes ini, termasuklah dalam melibatkan kes pemalsuan dokumen borang pengakuan barang-barang yang diimport. Tuan Pengerusi, seterusnya mengenai Butiran 030300 – Latihan Kemahiran Pertanian yang menyentuh hal ehwal latihan kemahiran pertanian secara sistem latihan berkembar, dual training system bersama pihak industri. Saya ingin bertanya, sejauh mana aspek latihan kemahiran pertanian ini diterapkan di peringkat sekolah-sekolah serta institusi pendidikan yang lain bagi memastikan pendedahan awal terhadap sektor pertanian? Seterusnya, Butiran 040300 – Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2022. Saya ingin mendapat penjelasan kementerian mengenai penganjuran MAHA pada tahun hadapan. Adakah akan dilaksanakan secara hibrid seperti mana yang dirancang sebelum daripada ini? Apakah fokus utama yang akan diberi keutamaan dalam penganjuran MAHA kali ini? Sejauh mana pembangunan teknologi pertanian serta peranti, data dan analisis akan turut diberikan perhatian dalam pameran MAHA bagi tahun hadapan? Sangat terima kasih Tuan Pengerusi, yang turut memberi peluang kepada saya walaupun tidak tersenarai awal.
Sama-sama. Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan ini tamatlah perbahasan di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Yang Berhormat Menteri akan dijemput untuk menjawab pada pukul 2.30 petang. [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Terima kasih bentara. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat ditempohkan dan akan disambung semula pada jam 2.30 petang nanti. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.05 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.32 petang]
[Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Dato’ Sri Azalina Othman Said (Pengerang) mempengerusikan Jawatankuasa]
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Dalam Jawatankuasa. Silakan Yang Berhormat Menteri, 20 minit.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat kita mempunyai seramai 26 orang Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam penggulungan pada kali ini. Ramai Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan Butiran B.21 bagi maksud 020100 – Padi dan Beras. Saya ingin memaklumkan ada sedikit kesilapan yang telah Ahli-ahli Yang Berhormat sebutkan bahawa sebenarnya tajuk ataupun butiran tersebut adalah di bawah perbelanjaan Bekalan ataupun Mengurus. Ia bukan di bawah Pembangunan. Saya tahu keprihatinan Yang Berhormat untuk memastikan supaya industri padi dan beras akan sentiasa diberikan perhatian. Bahkan, pada kali ini, untuk industri padi dan beras, untuk perbelanjaan pembangunan adalah meningkat. Justeru, MAFI memahami kebimbangan Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai kecukupan peruntukan bagi subsidi dan juga insentif untuk menampung pertamanya kos penanaman padi, keduanya untuk menampung kenaikan harga baja dan racun di pasaran tempatan. Sebelum itu saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa pada ketika ini, kedudukan padi ataupun beras negara kita, masih lagi menggunakan dasar 70:30 iaitu 70 daripada keluaran tempatan dan 30 kita import. Pada ketika ini, penggunaan sebulan adalah sebanyak 200,000 tan metrik dan setahun kita memerlukan sebanyak 2.4 juta tan metrik. Pengeluaran tempatan kita hanyalah sebanyak 140,000 sebulan yang berjumlah sebanyak 1.7 juta tan metrik setahun. Ini menunjukkan import kita pada setiap bulan sebanyak 60,000 tan metrik bersamaan dengan sebulan sebanyak 700,000 tan metrik. Sementara stockpile kita, untuk tahun ini kita mempunyai stockpile sebanyak 200,000 tan metrik. Di dalam circulation di seluruh negara kita mempunyai sebanyak 600,000 metrik tan dan untuk tahun 2023 nanti, stockpile kita akan terus meningkat sebanyak 290,000 metrik tan bagi memastikan supaya bekalan makanan negara kita akan sentiasa mencukupi dan berada dalam keadaan yang selamat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, MAFI telah memperuntukkan pelbagai input dan output pertanian yang bersubsidi semenjak tahun 1980 lagi. Di bawah Belanjawan 2022, kerajaan terus memperuntukkan sebanyak RM1.35 bilion bagi tujuan tersebut. Maklumat butiran subsidi adalah seperti berikut iaitu Butiran 040400 – Skim Subsidi Harga Padi adalah berjumlah sebanyak RM570 juta yang BERNAS menjadi penyelarasnya. Butiran 040500 – Subsidi Insentif Tanaman Padi yang berbentuk input yang berjumlah sebanyak RM960 juta. Ini meliputi skim baja padi Kerajaan Persekutuan yang berjumlah sebanyak RM386 juta. Sementara Skim Insentif Pengeluaran Padi yang berjumlah sebanyak RM422 juta, baja tambahan NPK, racun makhluk perosak untuk membajak, mengapur, insentif benih padi sah yang berjumlah RM75 juta dan Skim Baja Padi Bukit ataupun Padi Huma. MAFI amat prihatin terhadap keluhan para pesawah terhadap kenaikan harga racun yang ketara di pasaran. Di bawah Program Skim Insentif Pengeluaran Padi, pesawah yang sudah berdaftar adalah diberi bantuan bersubsidi sebanyak RM200 satu hektar, semusim. Kadar ini telah diguna pakai sejak SIPP diperkenalkan sejak tahun 2008
dan ia dapat menampung pembelian sebanyak empat botol racun pelbagai jenama untuk setiap hektar bermusim berdasarkan keperluan oleh pesawah. Bantuan bersubsidi ini meliputi 62 produk racun di bawah senarai SIPP di mana harganya adalah terkawal. Kepada Yang Berhormat Jempol, sebenarnya hanya seramai 200 orang tenaga buruh asing yang menjadi pesawah di tujuh kawasan IADA yang telah kita kenal pasti dan pengenalan Program SMART Sawah Berskala Besar, kesemua syarikat pemaju ataupun peneraju akan diwajibkan untuk menggaji hanya tenaga kerja tempatan 100 peratus. Mengenai varieti padi pula, sebanyak 10 varieti padi baharu mengikut ekosistem spesifik seperti kemarau, air masin, kawasan hot spot penyakit dan juga perosak. Varieti padi wangi, varieti tadahan hujan dan varieti Super turut akan dibangunkan dalam tempoh RMKe-12. Yang Berhormat Sik pula ada menyebut cadangan menubuhkan satu dengan izin rice centre of excellence. Sebenarnya untuk makluman Yang Berhormat, MARDI Seberang Perai adalah merupakan pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi padi MARDI. Sebanyak 52 varieti padi telah dihasilkan di pusat ini, di samping teknologi- teknologi lain seperti pembajaan, pengurusan, perosak dan penyakit, mekanisasi dan juga pembangunan produk yang berasaskan beras. MARDI Seberang Perai telah menjalankan fungsi COE seperti menjalankan penyelidikan padi di seluruh rantaian nilai bermula daripada sumber genetik, pembiakan, agronomi, pengurusan perosak dan juga penyakit, lepas tuai, mekanisasi dan juga automasi. Keduanya, untuk menjadi pusat khidmat rundingan berkaitan dengan teknologi padi kepada pesawah, agensi perkembangan, syarikat swasta dan entiti antarabangsa. Seterusnya...
Yang Berhormat Menteri.
...Untuk mengeluarkan benih padi negara...
Yang Berhormat Timbalan Menteri, boleh Sik sedikit.
...Dengan MS ISO 9000 untuk tahun 2015...
Yang Berhormat.
...MAFI sentiasa mengalu-alukan cadangan Yang Berhormat Sik berkenaan penglibatan agensi zakat...
Yang Berhormat Timbalan Menteri.
...untuk turut– nanti, belum, saya belum habis.
Yang Berhormat Timbalan Menteri.
...yang melibatkan– ya.
Saya hendak tanya Yang Berhormat ada dua orang tanya soalan. Yang Berhormat bagi jalan kah tidak?
Tidak boleh, saya belum habis lagi.
Tidak boleh. Dia tidak hendak bagi.
Tidak bagi ya?
Nanti kejap.
Yang Berhormat Timbalan Menteri sombong lah. [Ketawa]
Tidak apa lah. Silakan.
MAFI sentiasa mengalu-alukan cadangan Yang Berhormat Sik berkenaan penglibatan agensi zakat untuk turut serta sebagai syarikat peneraju SMART SBB. Sebelum ini saya ingin sebutkan, Yang Berhormat Parit ada sebutkan bahawa baru-baru ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memperkenalkan satu lagi variety padi baru yang dipanggil IS21. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, bahawa IS21 ini adalah satu variety yang telah dihasilkan oleh MOSTI dalam penyelidikan terbaharu mereka yang mempergunakan sistem nuklear. Sebenarnya asal usul padi yang baharu ini IS21 ini adalah daripada MR219 yang telah dihasilkan oleh MARDI. MR219 ini telah dirawat dengan menggunakan rawatan menggunakan gamma ray oleh MOSTI dan telah terhasillah benih padi baharu ini yang dipanggil IS21 sempena nama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita Ismail Sabri tahun 2021. Variety ini telah dikenal pasti oleh satu variety yang istimewa yang mempunyai keupayaan untuk stabil dalam semua persekitaran dan sesuai ditanam di tanah yang berbeza. Selain itu, variety ini rintang kepada penyakit-penyakit. Tidak berpenyakitlah.
Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Yang Berhormat Timbalan Menteri, rehat dahulu. Nampak batuk-batuk tadi. Minum air dulu.
Yang Berhormat Jempol. Sebab dia dengan saya sombong.
Sekejap Yang Berhormat. Sebelum mereka tanya soalan, saya tanya. Maknanya siapa makan padi itu, dia makan Perdana Menteri lah – IS21 beras itu?
[Ketawa]
[Ketawa]
Hebat Yang Berhormat Jempol. Tadi dia kata saya sombong.
Silakan ya Yang Berhormat Jempol. Yang Berhormat Parit sekejap sahaja, sebab dia ada 20 minit.
Ya.
Boleh ya? Sekejap. Silakan.
Okey. Terima kasih.
Sekejap sahaja. Jangan bagi ceramah ya Yang Berhormat Jempol.
Tidak. Tidak bagi ceramah. Cuma tadi jawapan tidak berapa clear. Dia kata sedikit itu 200 orang sahaja pekerja asing. Sedangkan Berita Harian ada mengeluarkan warga asing jadi tauke padi dan beras. Ia didedahkan oleh Ketua Pengarah Kawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Ini tidak boleh dipandang ringan. Ada dalam akbar Berita Harian ini, the head Metro Harian. Saya dapati jawapan ini tidak berapa memberangsangkan saya. Oleh sebab 200 orang ini telah pun menjadi tauke. Jadi apakah MAFI akan berkolaborasi dengan agensi lain bagi menangani isu Bangladesh dan juga Rohingya ini menguasai sawah padi negara? Apakah Yang Berhormat Menteri bersetuju bahawa bayaran upah yang rendah menjadi faktor generasi muda tidak berminat untuk menguasai sawah padi?
Terima kasih Yang Berhormat.
Jadi, ini Yang Berhormat Timbalan Menteri tidak jawab tadi.
Sekejap Yang Berhormat Timbalan Menteri. Tuan Pengerusi.
Untuk maklumat Yang Berhormat...
Sekejap. Sekejap.
...memang kita mengambil – Kita cukup serius sekali.
Biar dia menjawab dahulu. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
...Dengan penyertaan warga asing dalam sawah padi ini. Bahkan kita mahu memastikan supaya kawasan yang ditanam sawah padi ini tidak akan diusik untuk apa-apa pembangunan lain kalau boleh. Hal ini kerana kalau pihak kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan MAFI, jadi kawasan yang kita tanam padi ketika ini akan terus diperuntukkan kepada usaha tanaman padi yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia. Jadi, dengan penyertaan ataupun penglibatan warga asing ini, kita pandang cukup serius dan telah pun kita laporkan kepada pihak berwajib. Kita dapati ada di kalangan mereka pada ketika ini bukan sahaja menanam padi bahkan telah mengubah tanaman kepada sayur yang lebih menguntungkan. Ini sebab yang kita takuti sekali. Jadi dengan perbuatan ini akan mengurangkan lagi kawasan tanaman padi. Jadi, insya-Allah Yang Berhormat, kita akan mengambil tindakan dan perkara ini telah kita laporkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan. Dalam masa yang sama...
Yang Berhormat Pontian.
...pada ketika ini. Padi ini menghadapi kekangan…
Yang Berhormat Timbalan Menteri, Tuan Pengerusi.
Tuan Pengerusi, mahu sikit.
Yang Berhormat Parit.
...kerana ia disertakan oleh yang pertama dengan izin, aging farmers dan tidak dapat menarik minat petani-petani muda untuk menyertai. Akan tetapi saya yakin apabila kita memperkenalkan skim SMART sawah bersekala besar, kita akan membuat satu ketetapan 100 peratus pekerja adalah warga tempatan dan tidak ada warga asing. Ia akan disertai oleh pihak swasta bersama-sama dengan tuan tanah. Seterusnya Tuan Pengerusi.
Boleh mohon pencelahan?
Tuan Pengerusi.
Mohon pencelahan sedikit.
Saya ada masa yang sedikit sekali.
Biar dia buat keputusan, mana Yang Berhormat Menteri?
Pasal SMART sawah tadi.
Parit.
Sikit sahaja okey.
Parit. Okey terima kasih Tuan Pengerusi. Tahniah lah saya ucapkan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri dan juga kementerian yang telah pun mengambil inisiatif khususnya benih padi baharu ya. Cumanya saya hendak tanya kenapa tidak dipanggil nama-nama yang cukup mudah? Macam sebelum benda ini, Padi Malinja ataupun Mahsuri. Apa kaitannya untuk benih padi
ini dengan MOSTI? Juga anggaran hasil per hektar benih padi ini? Setakat mana pula daya tahan benih padi yang baharu ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Kita mengalu-alukan agensi-agensi ataupun organisasi-organisasi penyelidikan untuk menghasilkan apa juga varieties yang kita kenal pasti dapat memberikan satu pulangan yang terbaik kepada petani-petani kita. Bahkan apa jua penemuan yang telah didapati oleh sama ada universiti ataupun organisasi-organisasi penyelidikan disahkan oleh MAFI melalui MARDI. Tuan Pengerusi, beberapa Ahli Yang Berhormat daripada utara tanah air telah membangkitkan beberapa mengenai EPP 10 iaitu MADA Tersier, Butiran Projek P.94000. MADA sebenarnya adalah satu kawasan tanaman padi yang terbesar dalam negara dan menjadi begitu unggul sekali kerana sebanyak 40 peratus daripada keluaran beras negara adalah datang dari kawasan ini. Daripada jumlah keluaran padi negara, pada keseluruhannya terdapat 172 blok perairan. Daripada jumlah tersebut, 44 blok telah pun dilengkapi dengan sistem perairan tersier, manakala baki 128 blok perairan lagi perlu dibangunkan sistem perairan tersier bagi mencapai kepadatan 30 meter sehektar. Sehingga semasa, status bangunan baki 128 blok perairan adalah seperti berikut. Siap sepenuhnya 14 blok perairan, dalam pembinaan dari tahun 2021 sehingga tahun 2023 tiga blok perairan, untuk rolling plan pertama 2021 tiga blok perairan, untuk peruntukan rolling plan kedua 2022, empat blok perairan. Baki yang dibina dalam tempoh RMKe-12 adalah sebanyak 19 blok. Baki yang dibina dalam tempoh RMKe-13 sebanyak 85 blok. Maknanya Yang Berhormat dan Tuan Pengerusi, kawasan ini mempunyai satu peruntukan yang terbesar sekali. Satu peruntukan untuk tersier ini adalah sebanyak RM2 bilion yang berjalan sejak tahun 2010 sehinggalah RMKe-13 nanti. Satu lagi peruntukan yang dapat RM1 bilion yang bermula pada tahun 2016 adalah untuk Jeniang Water Transfer. Seterusnya, manakala program pembangunan...
Boleh minta pencelahan sikit Yang Berhormat?
...butiran telah dirancang untuk tahun 2022...
Yang Berhormat.
...untuk projek-projek pembangunan yang telah diluluskan melibatkan tiga projek di Perak, satu projek di Pulau Pinang, satu projek di Kedah dan salah satunya adalah pembinaan Skim Pembinaan Air Jeniang yang saya sebut tadi yang berjumlah sebanyak, total-nya adalah sebanyak lebih melebihi RM1 bilion. Akan tetapi untuk tahun ini diluluskan sebanyak RM8.5 juta sahaja. Untuk perancang RMKe-12, proses pengambilan balik tanah sedang dilaksanakan bagi pembangunan projek fizikal untuk Jeniang ini, fasa dua.
Boleh minta celahan?
Yang Berhormat.
Anggarkan keluasan tanah yang terlibat dalam pengambilan balik tanah adalah sebanyak 1,603 hektar yang melibatkan 416 lot dengan kos sebanyak RM395.6 juta. Pengambilan ini bagi melaksanakan pembinaan tiga komponen utama iaitu terusan pemindah 7.3 kilometer panjangnya, empangan laut 7.08 kilometer per segi luas kolam takungan dan terusan penghantar 19.5 kilometer panjang.
Yang Berhormat Timbalan Menteri dengan izin boleh? Yang Berhormat Timbalan Menteri?
Seterusnya, menyentuh Butiran 020000-
Dengan izin Yang Berhormat Timbalan Menteri, boleh?
Belum habis. Belum habis lagi.
Boleh? Ada tiga minit lagi.
Yang Berhormat Timbalan Menteri. Yang Berhormat Timbalan Menteri.
...Perairan dan saliran pertanian yang juga dibangkitkan Yang Berhormat Sabak Bernam adalah dimaklumkan MAFI mempunyai agensi persekutuan di negeri Selangor iaitu IADA Barat Laut Selangor...
Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya Tuan Pengerusi.
[Dewan riuh]
Saya ini Tuan Pengerusi hari ini. Kalau saya tanya, Yang Berhormat jawab ya atau tidak. Yang Berhormat kena respond sebab saya tanya.
Okey.
Okey. Kalau tidak boleh, tidak apa Yang Berhormat, terpulang kepada Yang Berhormat. Jadi, Yang Berhormat...
Okey, boleh.
Okey, boleh sahabat saya.
Sekejap, sekejap. Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu hendak tanya, boleh atau tidak boleh?
Rasa boleh.
Saya bagi satu orang, boleh?
Terima kasih. [Ketawa]
Boleh? Yang Berhormat seorang. Terima kasih.
Bagi Sik juga sedikit. Sik hendak ucap terima kasih ini. [Ketawa]
Terima kasih Tuan Pengerusi. Terima kasih saya hargai bantuan sahabat saya dari Jasin, saya reverse sedikit ya fasal Program SMART Sawah Berskala Besar. Saya perlu Yang Berhormat Menteri berkongsi sedikit dalam dewan tentang tiga perkara. Pertama, bila kementerian pilih syarikat peneraju itu, ada 11 atau 12 begitu ya. Bolehkah diterangkan sedikit apakah kriteria yang diguna pakai oleh kementerian untuk memilih syarikat-syarikat ini? Apakah mereka punya pengalaman dan di mana pilot projek yang mereka buat yang memberikan success stories tujuh tan, satu hektar. Saya tidak fikir dia mula terus dengan rollout 150,000 hektar. Itu yang pertama. Kedua Yang Berhormat ialah apa sebenarnya berlaku di bawah? Apakah sesi lebih urus secara menyeluruh telah dibuat dengan pertubuhan ladang negeri, pertubuhan peladang kawasan sebab mereka ini watak penting untuk menjayakan projek berskala besar ini. Terakhir, yang ketiga Yang Berhormat, boleh tidak berkongsi juga apa jadi dengan peranan NAFAS apabila projek sawah berskala besar ini berlaku? Nafas juga menjaga kepentingan ratusan ribu pesawah terutama dari segi sudut membekalkan baja, benih dan sebagainya. Boleh tidak berkongsi sedikit tiga perkara ini?
Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya kita telah kenal pasti seramai 12 syarikat peneraju, sebahagian daripada syarikat ini telah
pun membuktikan bukan sahaja keupayaan mereka, kesungguhan mereka dan telah menunjukkan sebenarnya mereka bukan sahaja dapat memajukan kawasan tersebut bahkan menghasilkan hasil keluaran padi yang melebihi sembilan tan sehektar. Kawasan ini telah kita buat, kita langsungkan yang pertamanya di negeri Selangor, di Sabak Bernam lepas itu IADA Seberang Perak dan beberapa kawasan yang lain. Pemilihan mereka adalah berasaskan daripada kemampuan, bukan sahaja daripada kemampuan teknologi bahkan daripada kemampuan kewangan. Satu daripada syarikat yang pada ketika ini sedang menjalankan satu usaha yang terbaik iaitu FGV lepas itu BERNAS dan tidak kurang juga kita akan include kan juga termasuk NAFAS sekali. Janganlah kita menyangka bahawa NAFAS tidak akan diberikan perhatian langsung. Keduanya, apa Yang Berhormat tanya tadi adakah libat urus dengan PPK memang itu satu daripada kerja yang kita buat supaya kita hendak memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya bahawa semua pesawah sebagai tuan tanah tidak akan terjejas pemilikan mereka. Bahkan apabila SMART Sawah akan dilaksanakan mereka juga diberikan peluang untuk bersama-sama bekerja sebagai penggaji dan mereka akan menjadi sebagai stakeholders ataupun menjadi sebagai pemegang saham dan kita jamin untuk SMART Sawah padi ini akan memberikan pulangan kalaupun tidak 100 peratus bahkan melebihi daripada apa yang dia dapat sekarang. Pada masa yang sama Yang Berhormat, bahawa SMART Sawah Berskala Besar ini yang pertama kebaikannya ia akan meningkatkan lagi yield kita ataupun production kita. Sekali gus akan meningkatkan SSL kita. Keduanya, tidak membebankan langsung kepada pesawah. Pesawah tidak terpaksa membayar duit benih, duit baja, duit racun, duit membajak bahkan ia akan ditanggung 100 peratus oleh peneraju-peneraju.
Sedikit lagi celahan ringkas Yang Berhormat Timbalan Menteri. Kalau keupayaan syarikat peneraju itu hebat daripada segi dana, kejayaan, pengalaman. Kenapa tidak mereka ini diminta mengusahakan tanah sawah terbiar atau kawasan tanah sawah yang hasilnya rendah? Kenapa mesti mereka diberikan kawasan yang sedia ada?
Okey Yang Berhormat, terima kasih. Bukan sahaja kawasan-kawasan seperti MADA ataupun KADA yang menjadi di kawasan utama kita bahkan mereka juga akan memajukan kawasan IADA seluruh negara dan juga kawasan luar daripada jelapang atau luar daripada IADA termasuk kawasan negeri Melaka Yang Berhormat. Saya pun hendak jemput mereka untuk bersama kerana kita hendak lihat bahawa sekurang-kurangnya pesawah-pesawah kita akan mendapat pulangan yang setimpal. Dalam masa yang sama kita hendak majukan kawasan-kawasan yang menjadi sebenarnya pembekal makanan ruji kita pada negara. SMART Sawah ini bukan sahaja telah mendapat sambutan yang cukup hebat daripada pesawah-pesawah dan untuk makluman Yang Berhormat semua, kerajaan- kerajaan negeri telah membuat jemputan kepada MAFI untuk mengusahakan dalam negeri-negeri mereka. Tuan Pengerusi, boleh lagi saya sambung?
Saya bagi tiga minit sahaja. Saya ada lagi dua kementerian.
Ada dua lagi kementerian. Saya minta maaf, saya terpaksa...
Jawapan bertulis boleh.
...Menghormati masa, menghormati Tuan Pengerusi yang cukup bekerjasama memberikan saya peluang.
Belum jawab lagi. Saya tidak dapat.
Timbalan Menteri, boleh bagi jawapan bertulis?
Tuan Pengerusi, Tuan Pengerusi...
Mohon Tuan Pengerusi, minta Timbalan Menteri bagi jawapan bertulis sebab banyak soalan yang kita ajukan tetapi...
Boleh ya, jawapan Yang Berhormat.
Jempol lagi, tidak jawab lagi empat soalan.
Sik pun tidak sempat lagi jawab. Banyak lagi. Saya hendak ucap terima kasih kepada Timbalan Menteri. Banyak beri kepada Kedah dan Mada.
Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya.
Yang Berhormat Timbalan Menteri, jawapan bertulis ya.
Saya tanya soalan harga sayur naik, harga ayam naik. Timbalan Menteri enggan jawab, itulah sikap Timbalan Menteri.
Masa tidak adalah, Jempol pun ada tidak jawab.
Lalai dan tidak enggan menjawab soalan yang begitu penting.
[Dewan riuh]
Yang lain pun banyak tidak jawab lagi.
Harga bahan pertanian naik semua, tidak mahu jawab. Lari!
Yang Berhormat.
Jawapan bertulislah, Yang Berhormat Menteri sudah cakap. Faham atau tidak?
Lari! Timbalan Menteri lari!
Itu tuduhan jahat itu.
Sudahlah, sudah. Bising.
Saya sangat merekodkan kedukacitaan.
Yang Berhormat, siapa yang buat?
Yang Berhormat enggan jawab soalan!
Yang Berhormat Bukit Bendera duduklah. Yang Berhormat Bukit Bendera duduklah.
Kalau berani jawab sekarang!
Sudahlah.
Speaker sudah bagi saya 20 minit.
Tuan Pengerusi.
Address lah elephant in the room.
Jadi, saya minta Yang Berhormat Menteri jawab sebab arahan daripada Speaker dalam masa lima hari. Jawapan perlu diberi kepada mereka secara bertulis.
Boleh, Tuan Pengerusi.
Memang jawapan secara bertulis lah.
Terima kasih Yang Berhormat. Janganlah hendaknya mendakwa saya lari daripada tanggungjawab.
Maknanya Yang Berhormat Menteri jawapan secara bertulis.
Saya berdiri di sini mewakili kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan supaya bekalan makanan sentiasa mencukupi.
Dengar itu Bukit Bendera.
Dengan makanan yang berkualiti.
Cukup dan mampu milik untuk beli.
Akan tetapi tidak bertanggungjawab atas harga bahan pertanian.
Sudahlah duduk, duduk. Bagaimana saya hendak bercakap...
Apa...
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Menteri Jawab bertulis.
Setuju, Timbalan Menteri jawab bertulis sahaja. Saya pun banyak soalan tetapi tidak dijawab.
[Dewan riuh]
Dengan harga... [Pembesar suara dimatikan]
Okey, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat masalahnya ialah bahawa wang sejumlah RM3,281,428,300 untuk Kepala B.21 Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2022 jadi sebahagian daripada Jadual hendaklah disetujukan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala B.21 diperintah jadi sebahagian daripada Jadual]
Masalahnya ialah bahawa perbelanjaan di bawah Kepala P.21 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 hendaklah diluluskan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala P.21 jadi sebahagian daripada Anggaran Perbelanjaan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 Bacaan Kali Yang Kedua DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 Jawatankuasa — Kepala B.31 [Jadual] – Kepala P.31 [Anggaran Pembangunan 2022] –Bill
Sekarang saya merujuk kepada Kepala Bekalan B.31 dan Kepala Pembangunan P.31 di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya terbuka untuk dibahas. Saya dimaklumkan oleh Speaker, 20 orang sahaja dibenarkan dan saya akan sebut nama-nama ini. Yang Berhormat Jerai, Yang Berhormat Balik Pulau, Yang Berhormat Tebrau, Yang Berhormat Kota Kinabalu, Yang Berhormat Pasir Salak, Yang Berhormat Sepang, Yang Berhormat Baling, Yang Berhormat Kalabakan, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Segambut. Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Petaling Jaya, Yang Berhormat Sibuti, Yang Berhormat Jerlun, Yang Berhormat Dungun, Yang Berhormat Kota Melaka, Yang
Berhormat Merbok, Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Sandakan dan Yang Berhormat Lumut. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Jerai. Dalam masa diberikan lima minit. Dipersilakan.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai sesi perbahasan Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Saya terus kepada perkara B.31 Butiran 050100 – Pelan Pemulihan Pelancongan. Sebanyak RM230 juta diperuntukkan. Semua sedia maklum daerah Yan terkenal dengan industri pelancongan desa. Musnah sekelip mata dek kejadian musibah banjir kepala air Gunung Jerai yang dikategorikan sebagai bencana tahap 1 pada 18 Ogos yang lalu. Diringkaskan soalan, apakah perincian langkah-langkah pemulihan tersebut? Sehubungan itu juga, adakah dana untuk meringankan beban NGO yang terlibat dalam industri pelancongan? Khususnya pengusaha bot ke pulau-pulau dalam Parlimen Jerai. Saya ingin bertanya, bagaimana pula dengan pekerja dalam sektor pelancongan? Sebagai contoh, kerja dalam sektor perhotelan yang telah diberi cuti ataupun dipotong gaji dek kerana musibah wabak COVID-19 yang melanda negara. Seterusnya yang kedua, perkara P.31, Butiran 02800 – Program Peningkatan Kemudahan Homestay. Kita lihat sekarang ini sudah menjadi trend apabila masyarakat kita lebih gemar bercuti ke homestay yang mempunyai kolam renang tertutup. Mereka lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga di sana. Sebagai contoh, di kawasan Parlimen saya. Permintaan daripada orang ramai sangat menggalakkan sehingga homestay ini sentiasa penuh tempahan. Soalan saya, apakah perhatian kementerian berkaitan subsidi ataupun insentif kepada pengusaha homestay? Supaya ini untuk menggalakkan lebih ramai individu menjadi pengusaha homestay di setiap negeri. Ketiga, B.31 Butiran 040500 – Pemerkasaan Sektor Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan. Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah dan syabas pada Jabatan Warisan Negara kerana berjaya mengangkat martabat tulisan jawi melalui pengiktirafan UNESCO melalui empat dokumen dari Malaysia di bawah kategori Dokumen Warisan Dunia dalam Daftar Memori Dunia iaitu yang pertama Batu Bersurat di Terengganu. Kedua, Surat-surat Sultan Kedah 1882-1943. Ketiga, Hikayat Hang Tuah dan yang keempat, Sejarah Melayu. Kesemua dokumen ini dalam tulisan jawi. Semua kriteria pemilihan yang berkepentingan dunia dan nilai sejagat. Bajet yang diperuntukkan adalah RM20 juta. Saya mencadangkan agar ditambah peruntukan kepada jabatan ini bagi merancakkan lagi penyelidikan bertaraf dunia untuk membongkar manuskrip yang masih tersimpan. Dengan ini, mampu kita mengangkat hasil penyelidikan agar diiktiraf di peringkat dunia melalui UNESCO. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Jabatan Perpustakaan Negara kerana berjaya mempersadakan tulisan jawi melalui Klinik Jawi di radio IKIM. Saya difahamkan sudah masuk 10 tahun siarannya sejak tahun 2012. Tahniah kepada Profesor Madya Dr. Adi Asran, sahabat saya sebagai moderator jawi. Sehubungan itu, sebagai penyumbang dan pelopor tulisan jawi, saya berpandangan jawi disemarakkan lagi di medium nasional agar penglibatan masyarakat pelbagai kaum dapat diintegrasikan melalui platform kementerian Yang Berhormat Menteri. Oleh yang sedemikian, saya mencadangkan papan tanda atau papan tanda jalan atau billboard besar bertulisan jawi perlu dinaikkan. Terutama di semua lokasi tumpuan pelancong dan semua jabatan kerajaan. Hal ini bagi memastikan generasi muda tidak lupa akan warisan negara kita. Terakhir, B.31 Butiran 040400 – Perpustakaan Desa. Daripada jumlah yang diperuntukkan, pada tahun 2022 sejumlah RM42,500,000. Di jerai terdapat perpustakaan
desa yang berfungsi sebagai pemangkin pengetahuan di antara pengetahuan masyarakat luar bandar. Soalan saya, dengan peruntukan tersebut, apakah kriteria untuk mendapatkan perkhidmatan perpustakaan desa dalam Parlimen? Apakah ada kuota tertentu? Selain itu juga, adakah terdapat peruntukan khas untuk menaik taraf perpustakaan desa? Adakah peruntukan tambahan untuk menambah bilangan komputer dan internet di setiap perpustakaan desa ini untuk di naik taraf sesuai dengan keperluan semasa untuk kegunaan setiap masyarakat tempatan yang memerlukan? Sekian Tuan Pengerusi, terima kasih.
Yang Berhormat Balik Pulau.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi. Saya terus kepada Butiran 040000 – Program Khusus, Butiran 040600 – Malaysian Convention and Exhibition Bureau (MyCEB). Saya ingin mendapat penjelasan tahun 2020 peruntukan sebanyak RM5 juta, tahun 2021 RM4.8 juta. Akan tetapi tahun 2022, kosong. Mengapa peruntukan bagi butiran ini diturunkan sehingga 100 peratus daripada RM4.8 juta kepada kosong bagi tahun 2022? Sedangkan kita tahu bahawa MICE atau aktiviti MICE membawa ramai business travelers dan mereka lazimnya berbelanja lebih– tiga kali lebih daripada berbanding pelancong biasa. Sektor MICE juga merupakan penyumbang terbesar dalam ekonomi negara daripada segi kemasukan wang asing. Saya dimaklumkan juga MyCEB telah pun membida 21 persidangan antarabangsa yang bakal diadakan di Malaysia bagi tempoh tahun 2022 hingga 2030 dengan anggaran pulangan sebanyak RM350 juta. Salah satunya antara yang terbesar sekali ialah World Congress Nephrology yang dianggarkan mendapat 5,000 orang perwakilan. Jadi saya minta MOTAC menyatakan, bagaimana acara-acara besar yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi sedangkan kos pengoperasian ialah kosong? Adakah kerajaan bercadang untuk menutup MyCEB yang mana sebelum ini ia merupakan sebahagian ataupun subsidiari kepada Tourism Malaysia? Adakah kerana overhead ataupun belanja yang tinggi? Maklumlah gaji CEO pun mencecah RM50,000. Atau kerana MOF telah pun mengarahkan MyCEB memulangkan RM105 juta deposit tetap yang terdapat dalam akaun MyCEB, yang mana kalau tidak pulangkan, MOF tidak akan bagi peruntukan. Tolong jelaskan, apakah yang terjadi di MyCEB? Oleh sebab kita tahu bahawa MyCEB ini berusaha– pegawai-pegawai MyCEB berusaha keras untuk membawa events di Malaysia. Jikalau pertikaian berlaku antara kementerian-kementerian, maka ini akan menyulitkan MyCEB untuk membawa event itu ke Malaysia. Saya juga menyentuh tentang VTL yang kalau nefrologi itu 5,000 orang perwakilan itu akan datang melalui Singapore. Ini kerana VTL, Malaysia tidak buka sempadan lagi dan perwakilan terpaksa datang melalui Singapura. Ini akan menyebabkan Malaysia tidak mendapat tempias ataupun faedah daripada kedatangan business traveler ataupun peserta-peserta dari luar negara. Ini sebab VTL membenarkan warganegara yang berada di Singapura memasuki Malaysia dengan memenuhi kriteria-kritera tertentu. Butiran 050000 – ONE-OFF, Butiran 05100 – Pelan Pemulihan Pelancongan. Saya juga ingin minta penjelasan kesalinghubungan bantuan kewangan dan geran-geran yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu industri pelancongan. Ini kerana ejen-ejen pelancongan inbound dan outbound seperti pengendali Umrah dan Haji, pemandu pelancong, operator spa, hotel-hotel, bas persiaran, event organizers, taman-taman tema. Saya telah mendapat banyak rungutan di luar sana menyatakan bantuan yang disediakan sukar untuk diperolehi berikutan penetapan kriteria yang terlalu ketat. Misalnya, penyata kewangan semasa di mana kita tahu kebanyakan pengusaha industri pelancongan tidak menjalankan sebarang aktiviti. Tiada aliran tunai yang aktif sejak pintu sempadan ditutup.
Bagaimana mungkin pengusaha-pengusaha menyediakan penyata kewangan yang baik. Jadi, saya juga cadangkan MOTAC banyak mengadakan libat urus dengan pemain-pemain industri ini kerana mereka boleh memberitahu kilanan ataupun grievance yang mereka hadap. Saya juga ingin menyentuh Butiran 01900 – Pembangunan Ecotourism. Di mana kita tahu ecotourism ini merupakan salah satu cabang tourism yang kita hendak galakkan di Malaysia. Kita juga mempunyai National Ecotourism Plan 2016 – 2025. Dibandingkan dengan jenis-jenis pelancongan yang lain, ecotourism ini lebih membawa kepada walaupun low end tourist, mereka banyak memberi faedah kepada community-based tourism. Kepada komuniti-komuniti di kampung, di mana pekerja seperti pembuat kraf, Makcik Kiah yang meniaga di tepi-tepi jalan, malim gunung dan ramai lagi yang boleh mendapat faedah daripada economic chain yang panjang ataupun rangkaian business yang panjang, yang dibawa oleh pelancong-pelancong dalam ecotourism ini. Tuan Pengerusi, satu lagi poin.
Tentang Butiran 030100 – Dasar dan Perancangan Strategik. Dalam National Tourism Plan ada disebutkan Satellite Investment Tourism Zone dalam dasar pelancongan negara di mana Langkawi, Kota Belud, Port Dickson dan juga Putrajaya disebut sebagai zon SITZ. Apakah status galakan pelaburan di SITZ tersebut? Ini kerana, Ahli Parlimen Port Dickson meminta saya tanya khusus tentang apa yang terjadi ataupun apakah langkah yang diambil untuk membawa pelaburan asing untuk pelancongan ataupun pembangunan tourism di Port Dickson. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Tebrau.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua mengizinkan saya menyertai perbahasan ini. Tuan Yang di-Pertua, perkara yang pertama saya akan sentuh melibatkan Butiran 030500 – Warisan Negara. Saya nampak ada banyak kelemahan di bawah tajuk ini khususnya iaitu tidak menjaga monumen bangunan dan warisan negara dengan baik untuk tempoh melangkaui beberapa generasi bagi menjadikan rujukan dan kenangan generasi Kedua, penyebaran dan perkongsian ilmu pemuliharaan bangunan warisan kepada masyarakat umum tidak dilaksanakan dan diberi penekanan melalui media digital. Ketiga, kelemahan saya hendak lihat adalah kurangnya kajian yang dijalankan oleh pengkaji yang pakar dalam bidang tersebut. Jadi, saya ingin mencadangkan kementerian memastikan nilai warisan dapat dikekalkan dan dijaga agar menjadi pulangan ekonomi kepada industri pelancongan juga meluluskan geran kajian melalui penyelidikan monumen serta nilai-nilai sejarah agar dapat diterjemahkan ke dalam bidang rujukan serta pendidikan di sekolah dan IPT. Begitu juga meluluskan geran bagi penggiat seni untuk mengadaptasikan melalui animasi serta perfileman. Terakhir, saya mencadangkan untuk memastikan generasi muda perlu mendapatkan rujukan daripada sejarah bagi membentuk wajah serta jati diri bangsa Malaysia. Butiran 030400 – Muzium. Saya nampak banyak kelemahan juga. Pertama, tidak diwujudkan bagi setiap daerah dan tidak banyak ilmu dan nilai sejarah yang diperoleh memandangkan ia bukan satu sumber rujukan utama kepada para ilmuwan untuk dijadikan jurnal, buku, dokumen serta kajian penyelidikan tesis. Kedua, kelemahan adalah harga tiket yang mahal dan tidak berbaloi. Kelemahan yang ketiga ialah tiada forum atau wawancara yang dilaksanakan di muzium dan hanya untuk lawatan dan pameran sahaja. Jadi saya ingin mencadangkan untuk mengatasi kelemahan ini pertama adalah fungsi muzium perlu dikembangkan bukan sahaja kerja-kerja pengumpulan, pemuliharaan dan pengekalan sejarah tetapi juga dijadikan rujukan utama kepada para ilmuwan dari luar. Kedua, mengkaji semula kaedah dan kebolehpasaran bagi meningkatkan promosi kepada pengunjung dan masyarakat.
Seterusnya adalah Butiran 030600 – Kebudayaan dan Kesenian. Kelemahan saya lihat adalah kurangnya penyampaian secara pendidikan iaitu secara langsung atau tidak langsung oleh artis budaya. Kedua, kelemahan adalah harga tiket yang mahal bagi melihat aktiviti ataupun program artis budaya. Kelemahan yang ketiga adalah tiada kesinambungan bagi jelajah setiap negeri untuk mempromosikan produk budaya dan seni. Jadi, saya ingin mencadangkan untuk mengatasi masalah ini adalah menjadikan budaya dan seni sebagai ikon utama dalam mempromosikan identiti negara. Sistem pendidikan perlu memainkan peranan bagi mencungkil bakat dan menghasilkan model insan seni yang kreatif dan inovatif dan dapat menyumbang kepada penggunaan industri kreatif di peringkat sekolah hingga pengajian tinggi. Begitu juga proses mengadaptasikan gaya seni berupa seni tradisi dalam arus perkembangan pasca moden. Akhir sekali, menjadikan seni persembahan sebagai komoditi yang berpotensi. Sekarang Butiran 050100 – Pelan Pemuliharaan Pelancongan yang diperuntukkan RM230 juta. Sila Yang Berhormat Menteri memberikan maklumat terperinci apakah yang dimaksudkan dalam pelan pemulihan pelancongan dan bagaimana ia boleh memberangsangkan pemuliharaan industri pelancongan di negara kita memandangkan sekarang kita masih dalam tempoh pandemik walaupun kita akan masuk kepada endemik. Akhir sekali saya ingin sentuh adalah Perpustakaan Desa di bawah Butiran 040400 – Perpustakaan Desa. Saya nampak ada dua kelemahan di bawah tajuk ini. Nombor satu adalah tidak kompetitif kerana perpustakaan desa tidak mendapat sambutan daripada segi kedatangan masyarakat ke perpustakaan berkenaan. Kedua, kelemahan adalah tiada aktiviti yang dilaksanakan bersesuaian dengan kanak-kanak dan dewasa. Jadi, saya ingin mencadangkan untuk mengatasi masalah-masalah ini adalah mewujudkan perpustakaan berdigital serta meliputi sasaran. Selain itu, mengembangkan fungsi selain daripada menjadi rujukan dan maklumat kepada masyarakat sahaja. Itu sahaja daripada saya. Saya ingin mencadangkan menyokong. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Kota Kinabalu.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi. Saya ingin merujuk kepada Butiran 020200 – MM2H. Ini berkenaan dengan MM2H atau nama penuhnya Malaysia My Second Home. Kementerian Dalam Negeri – bukankah ini sudah diambil alih oleh Kementerian Dalam Negeri? Akan tetapi, sekarang saya masih nampak yang butiran ini masih terletak di bawah MOTAC. Walau bagaimanapun, saya menyokong MOTAC untuk terus mengambil alih balik sebagai penyelaras program untuk MM2H ini. Ini kerana, saya rasa MM2H ini kalau diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri – pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri dan pegawai-pegawai MOTAC dia ada fokus yang lain-lain, yang berbeza. Pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri lebih cenderung mengetatkan syarat sebab fokus adalah kepada keselamatan negara dan mereka mungkin akan cenderung berfikir bahawa peserta-peserta MM2H ini ada agenda yang boleh menggugat keselamatan negara sehingga menyusahkan pemohon-pemohon. Ini berbeza dengan pegawai-pegawai MOTAC yang saya rasa lebih fokus terhadap promosi dan menghebohkan perkara-perkara lain seperti corak kehidupan, kemanusiaan, kebudayaan, seni, keunikan dan lain-lain sehingga Malaysia nampak lebih menarik di mata warga asing untuk melabur dan tinggal di Malaysia. Saya rasa Ahli Parlimen Padang Rengas sebelum ini pun pernah berkata banyak permohonan MM2H ini ditolak Jabatan Imigresen tanpa sebarang alasan yang kukuh. Jika ia terus diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri, mungkin lebih ramai lagi yang tidak dapat menyertai ini. Pada 11 Ogos tahun ini Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa penyambungan semula program MM2H bermula 1 Oktober tetapi dengan kriteria yang lebih ketat. Namun, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengumumkan bahawa perubahan
baharu ini tidak akan menjejaskan program MM2H di Sarawak. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata negeri itu akan mematuhi kriteria sedia ada yang digunakan sejak 1 September tahun lepas kerana program itu sentiasa bertujuan menarik pengunjung berkualiti ke Sarawak. Terdapat beberapa perbezaan yang dimohon oleh Sarawak termasuk keperluan untuk melabur dalam hartanah kediaman bernilai sekurang-kurangnya RM600 hanya dikenakan kepada pemohon berumur antara 40 tahun ke 50 tahun. Pemohon berumur 30 tahun ke atas boleh diperimbangkan jika mereka menemani anak mereka belajar di Sarawak atau mendapatkan rawatan perubatan jangka panjang. Selain itu tempoh tinggal minimum hanya 15 hari kumulatif setahun diperlukan pas 10 tahun dikeluarkan kepada pemohon yang berjaya. Presiden Sabah Law Society, Roger Chin dia pun berkata bahawa Sabah dan Sarawak ada perlindungan dan kepentingan yang khas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang termasuk kawalan ke atas urusan imigresen dan pelindungan ini telah membolehkan Sarawak ada program MM2H sendiri di bawah Lembaga Pelancongan Sarawak. Peraturannya berbeza dengan yang dilaksanakan di sini, di Semenanjung Malaysia.
Beliau juga mencadangkan bahawa Kerajaan Sabah harus mengadakan Program MM2H Sabah yang tersendiri, dengan terma dan syaratnya yang tersendiri agar boleh membantu menarik pelaburan asing ke Sabah, termasuk mereka yang mungkin tidak layak di bawah peraturan baharu yang ditetapkan di bawah Program MM2H yang ditetapkan di Semenanjung Malaysia. Juga begitu, saya hendak tanya butiran untuk Program MM2H ini. Adakah juga merangkumi kerja-kerja di Sabah dan Sarawak untuk promosi Program MM2H? Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar iaitu Sultan Negeri Johor juga menzahirkan rasa kecewa kerana keengganan Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula kriteria baharu yang ketat bagi Program MM2H. Baginda berkata keputusan kementerian itu membingungkan dan keterlaluan, memandangkan Program MM2H telah membawa manfaat ekonomi yang besar kepada Malaysia. Selain itu, bekas Menteri MOTAC, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir bin Sheikh Fadzir berkata, MOTAC mempunyai rangkaian hubungan pegawai-pegawai MOTAC di seluruh dunia yang boleh membantu merancakkan Program MM2H ini secara aktif. Beliau juga meminta agar kerajaan membuat keputusan dan mengumumkan bahawa pemegang visa MM2H yang sedia ada akan dijamin lanjutan visa selama sepuluh tahun lagi di bawah syarat semasa yang sama selepas tamat tempoh status mereka sekarang. Hal ini bagi memastikan kedudukan mereka tidak akan– Tidak menggalakkan sebarang niat daripada mereka untuk berpindah ke negara lain. Pengumuman ini juga akan membetulkan apa juga kerosakan dan ketidakpastian yang mungkin tercipta daripada pengumuman yang terkini daripada KDN. Oleh itu, saya bersetuju bahawa Program MM2H harus diserahkan kembali kepada MOTAC dan lebih banyak peruntukan diberikan. Dengan ini, maka ia akan meringankan beberapa tugas berat KDN kerana KDN juga menangani perkara penting negara yang lain seperti kira-kira empat juta orang pendatang tanpa izin di seluruh Malaysia. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Pasir Salak.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya merujuk kepada Butiran 010500 – Pembangunan Prasarana, untuk industri pelancongan ini. Pembangunan prasarana ini penting untuk kita menggalakkan pembangunan industri pelancongan. Industri pelancongan merupakan industri yang mempunyai potensi yang amat besar untuk membangunkan ekonomi luar bandar. Hal ini kerana kebanyakan daripada pelancong, sama ada dari dalam negeri ataupun dari luar
negeri, mereka biasanya menuju kepada destinasi pelancongan seperti laut, pantai, bukit, gunung dan lain-lain yang boleh didapati di luar bandar. Jadi, saya ingin mengingatkan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya supaya mengambil peluang membangunkan industri pelancongan ini dengan begitu hebat sekali. Bangunkanlah, berikanlah peruntukan yang sebesar-besar mana yang diperlukan supaya kita dapat membangunkan ekonomi luar bandar. Hal ini kerana untuk mengharapkan industri perkilangan dan juga industri pembinaan dan sebagainya, memang tidak mudah untuk kita dapat lakukan di luar bandar. Jadi, kemudahan prasarana-prasarana adalah penting. Umpamanya, inap desa. Homestay. Homestay pun saya ingat tidak mencapai tahap yang tinggi, yang boleh memberi keselesaan kepada pelancong-pelancong, terutama sekali pelancong dari luar negeri. Kita kena faham bahawa pelancong-pelancong dari luar negeri terdiri daripada mereka yang mempunyai permintaan atau expectations yang tinggi daripada segi keselesaan, kualiti dan sebagainya. Jadi dengan sebab itu, saya harap pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memberikan tumpuan kepada perkara ini. Satu daripada prasarana pelancongan di kawasan saya, Pasir Salak umpamanya, Resort Pasir Salak. Mengapakah terbiar begitu sahaja? Sudah berkali-kali saya ingatkan pada Kerajaan Negeri Perak, Kerajaan Pusat dan Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sendiri pun. Mengapakah dibiarkan? Semasa kerajaan negeri membangunkan resort itu, kalau tidak silap saya berjumlah lebih RM40 juta telah dibelanjakan di tepi Sungai Perak itu. Sekarang, terbiar begitu sahaja. Sayang. Oleh sebab masa agak suntuk, saya ingin menyentuh perkara yang paling penting di sini iaitu menggalakkan pelancongan dari luar negara. Saya melihat bahawa Indonesia merupakan sebuah negara yang sangat berdekatan untuk menjadi market kepada pelancongan kita di Malaysia ini. Dengan sebab itu, promosi yang hebat dan baik mestilah dilakukan untuk menggalakkan pelancong-pelancong dari Indonesia supaya datang ke Malaysia ini. Setakat ini, saya melihat kepada angkanya lebih kurang tiga juta orang pelancong sahaja dari Indonesia. Dari Malaysia ke Indonesia pun perlu dipertingkatkan lagi. Hubungan dua hala antara dua buah negara serumpun ini boleh membantu untuk membangunkan industri pelancongan kedua-dua buah negara ini dan membantu meningkatkan ekonomi kepada rakyat Indonesia dan Malaysia. Kita mempunyai banyak destinasi pelancongan yang cantik-cantik dan menarik di kedua-dua buah negara ini. Jadi, kalau kita lihat antara fungsi kementerian adalah untuk mereka ataupun merancang untuk membangunkan industri pelancongan ini. Saya harap agar seriuslah dalam perancangan yang akan dilakukan. Tuan Pengerusi, selain itu perlu juga pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memikirkan produk-produk pelancongan yang baharu, yang boleh menjadi tarikan kepada pelancong dari luar negara. Ini banyak terdapat di luar bandar. Terpulanglah kepada kementerian untuk memberikan tumpuan membangunkan produk-produk ini. Saya boleh huraikan satu persatu tetapi oleh sebab masa sudah cukup, saya mengucapkan terima kasih. Terima kasih.
Tahniah ‘Pak Dubes’. Inilah betul ‘Pak Dubes’.
Terima kasih ‘Pak Dubes’. Yang Berhormat Sepang.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi kerana memberi peluang kepada saya untuk berbahas bagi belanjawan pada peringkat Jawatankuasa ini bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Pertamanya, saya ingin menyatakan bahawa– Lebih kepada Butiran 030800 – Perpustakaan Negara; bersama dengan Butiran 040400 – Perpustakaan Desa.
Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, untuk peruntukan Perpustakaan Negara ini kita melihat ada peningkatan iaitu daripada RM43,544,700 kepada RM45,858,500. Sedangkan bagi perpustakaan desa ini walaupun ada peningkatan tetapi tidak begitu signifikan. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, kita tahu sekarang ini boleh dikatakan perpustakaan ini begitu tidak popular. Malahan, bukan sahaja perpustakaan, bahan-bahan bacaan seperti buku juga mula tidak popular kerana wujudnya teknologi maklumat yang agak pesat ini. Malahan, banyak perkara yang dahulunya mungkin popular, sekarang beransur-ansur jadi irrelevant. Kita melihat ke dalam rumah kita sahaja. Mungkin televisyen juga menjadi macam irrelevant sebab orang ramai tengok Youtube dan sebagainya. Jadi saya hendak bertanya, dalam perkembangan sebegini adakah pihak kementerian membuat satu kajian yang terperinci melihat perlunya Perpustakaan Negara ini kalau hendak terus wujud pun, diubahsuai atau dimodified, dengan izin, untuk membolehkan ia menjadi satu tempat bacaan yang relevan, sesuai dengan perkembangan zaman teknologi maklumat ini. Oleh sebab kita– Saya rasa memang Perpustakaan Negara ini boleh dikatakan– Apatah lagi perpustakaan desa. Orang Arab kata, [Menyebut istilah dalam bahasa Arab] yang bermaksud ia wujud tetapi macam tidak wujud. Jadi, saya mengharapkanlah– Apabila peruntukan ditambah, saya pun pelik daripada segi apa perlunya penambahan ini sedangkan Perpustakaan Negara itu sendiri ibarat tidak ada apa-apa lagi yang boleh menyumbang kepada perkembangan intelektual, khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Saya juga minta supaya kerajaan juga membuat satu kajian yang terperinci pasal kementerian ini tentang – bila kita wujudkan perpustakaan ini, ia ada kaitan dengan budaya membaca. Saya merasakan pada zaman ini khususnya boleh dikatakan budaya membaca ini begitu kurang, berbeza dengan orang-orang veteran atau orang-orang lama. Generasi sekarang ini boleh dikatakan mereka tidak begitu berminat untuk membaca atau pun mereka tidak boleh sustain membaca dalam tempoh masa yang lama. [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa] Oleh sebab itu, kalau mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat yang sekarang ini, generasi Z, generasi X ke tidak kisahlah, mesejnya mesti pendek, yang mungkin kalau kita buat YouTube mungkin dua ke tiga minit sahaja. Oleh sebab mereka tidak boleh sustain melihat dan menonton sesuatu dalam keadaan yang lama. Oleh sebab itu, kalau kita lihat, even dalam menghantar message dalam WhatsApp dan sebagainya pun, kita menggunakan ayat-ayat yang paling pendek. Mereka gunakan seperti LOL. Saya ingat dulu LOL itu bahlul, rupanya bukan bahlul. [Ketawa] Dulu saya ingat, mula-mula saya ingat ini bahlul kot, ringkasan kepada panggilan bahlul, rupanya bukan bahlul, walaupun ramai orang bahlul. Seterusnya, saya terus kepada Butiran 040700 - Islamic Tourism Centre (ITC). Saya hendak tanya kepada kementerian, adakah termasuk dalam Islamic Tourism Centre ini kita hendak menggalakkan orang berkunjung ke Kota Bharu, Bandar Raya Islam. Ini sebab saya tahu Kota Bharu telah diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam pada tahun 2015. Jadi, adakah salah satu buah produk Islamic Tourism Centre ini ialah untuk mempromosi supaya pelancong melancong ke Kelantan? Kalau betul ada, itu saya hendak tanya bagaimanakah cara promosi itu dapat menggalakkan orang untuk melancong, sedangkan kita tahu di Kelantan mereka menghadapi banyak masalah. Antaranya, airnya keruh seperti teh tarik. Jadi, kalau orang pergi ke Kelantan Bandar Raya Islam tiba-tiba airnya keruh sekeruh teh tarik, macam mana orang hendak minta pergi melancong? Jadi, saya harap kerajaan mungkin dapat memikirkan perkara ini.
Terakhir, Butiran - 030500 Warisan Negara. Saya hendak tanya, kita tahu hendak memilih tempat sebagai warisan negara, kita perlu ada satu tarikan. Saya ingin bertanya, tarikan ini mungkin ada negatif dan positif. Adakah kerajaan merasakan bahawa oleh sebab negara kita telah di– Malaysia boleh dikatakan sudah ramai orang kenal sekarang. Akan tetapi, kenal dalam keadaan tidak positif sangatlah. Sebagai contoh, 1MDB menjadikan Malaysia terkenal. Sehingga seorang pelawak Amerika, Hassan Minhaj dalam dia punya siri Netflix, telah membuat satu siri khas mengenai 1MDB. Dia menceritakan bagaimana penglibatan Yang Berhormat Pekan dan juga Jho Low dan sebagainya. Saya ingin tanya kepada pihak kerajaan, adakah kerajaan boleh memikirkan bahawa untuk kita mewujudkan satu buah bangunan 1MDB yang canggih sebagai tapak warisan negara sebab ini telah memberi jasa kononnya. Kalau tidak berjasa, kenapa boleh minta RM100 juta? Saya mengharapkan, mungkin kita sudah sampai masanya kita mungkin boleh menggelar atau memberikan satu title kepada Yang Berhormat Pekan sebagai ‘Tokoh Korupsi Negara’, tokoh yang telah memajukan dan telah menaikkan nama Malaysia, walaupun nama makin buruk tetapi sekurang-kurangnya dia naikkan namalah hingga orang kenal kita.
Ini otak sudah jadi macam mana ini?
Ini otak macam – jadi macam.
Otak ini macam mana ini?
Oleh sebab itu, kita juga boleh... [Disampuk]
Fikiran sudah tidak betul ini.
Macam manakah negara boleh melantik orang seperti... [Disampuk]
Ada sakit mental.
Seperti Yang Berhormat Pasir Salak sebagai duta sedangkan dia ini gagal. Fail.
Ada sakit mental ke ini?
Baik Yang Berhormat Sepang.
Orang sakit mental pun boleh jadi duta. Macam mana? Sekian, terima kasih.
Okey, Yang Berhormat Sepang. Terima kasih. Yang Berhormat Sepang, petang-petang ini. Yang Berhormat Baling, silakan.
Terima kasih, Tuan Pengerusi. Alhamdulillah syukur saya diberi kesempatan dalam pembahasan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia. Saya ingin menyentuh Butiran 011000, 1400, 9400 – Pembangunan 31. Saya ingin menjelaskan berkaitan – hendak tanya Yang Berhormat Menteri berkaitan dengan Baling. Baling dengan pelancongan, berpisah tiada. Justeru, kalau kita tengok dalam konteks Baling dalam sudut pelancongan kita ada Baling Best, adventure trip, kita ada leisure trip yang selama ini Baling telah melakukan pelbagai - pusat-pusat pelancongan. Jadi, kalau kita tengok Baling, seperti yang kita sedia maklum termaktub di dalam sejarah berkenaan dengan Rundingan Damai Baling 1955 di antara Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Kerajaan Persekutuan Tahun Melayu dan Chin Peng, seorang komunis
di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling. Daerah ini juga bersebelahan dengan sempadan Malaysia-Thailand iaitu Betong. Di Baling, terdapat pusat peranginan dan pelancongan luar bandar dengan suasana alam semula jadi yang dapat menarik minat pengunjung. Antaranya Gunung Baling, Gunung Pulai, Kolam Air Panas Ulu Legong, Pusat Rekreasi Lata Air Terjun Latar Bayu, Latar Iboi, Latar Bukit Hijau, Sungai Angkat Ulu Legong, Gua Sireh, Gua Kelambu, Gua Jepun, kecantikan Sungai Lubok Pedati yang menjadikan tumpuan orang ramai dan banyak lagi tumpuan-tumpuan yang dapat di laksanakan. Oleh sebab itu, saya ingin memohon untuk kementerian menguar-uarkan semula pengiklanan luar bandar bagi membantu meningkatkan ekonomi khususnya di dalam daerah Baling dalam konteks pelancongan. Sila masukkan ke dalam buku Tourism Facts Book yang sudah sedia ada. Jadi Tuan Pengerusi, ini semua akan memberi manfaat setelah kita mengalami pandemik COVID-19 ini. Hampir 90 peratus homestay di dalam daerah Baling lumpuh. Peniaga-peniaga kecil iaitu makcik-makcik, mak long-mak long di kampung saya menjual nasi lemak, buat kuih dan sebagainya untuk menarik pelancong datang ke dalam daerah Baling, akhirnya mereka telah dapat satu musibah apabila pandemik COVID-19 ini telah berlaku. Justeru, saya pohon kepada kementerian agar menguar-uarkan. Saya yakin dan percaya, orang Arab, orang putih, orang Eropah kalau datang, mereka datang ke Baling, kemungkinan mereka tidak hendak balik khususnya dalam musim sejuk. Di Baling, adalah tempat yang nyaman, tidak panas, tidak sejuk. Jadi, saya harap Yang Berhormat Menteri boleh memberi peluang kepada rakyat Baling untuk berikan mata kail daripada memberi bantuan seperti kotak makanan, bagilah mata kail kepada mereka. Bukalah ruang seluas-luasnya untuk kami rakyat Baling mendapat manfaat, pulangan dalam konteks homestay dan pelancongan yang saya sebutkan tadi. Satu lagi perkara yang ingin saya sentuh iaitu berkaitan dengan Rancangan Malaysia Ke-12 telah mengumumkan, saya terbaca dalam satu kenyataan dalam Buku Ekonomi 3.21 yang telah tertera dalam buku ini mengenai pejabat perwakilan Malaysia di luar negara bagi tujuan promosi dan pemasaran tidak lagi diperlukan dan akan dirasionalisasikan mengambil kira trend semasa untuk menunjukkan kebanyakan keputusan dan pembelian berkaitan perjalanan dibuat melalui platform dalam talian. Bagi saya, saya tidak ada masalah. Akan tetapi, saya pohon kepada kementerian untuk mengkaji dan meneliti pada waktu dan ketika ini apa yang dinyatakan sebagai General Sales Agent (GSA) tadi untuk tidak dilaksanakan buat masa ini. Oleh sebab saya rasa idea GSA ini perlu ditangguh, dikaji dan diteliti semula. Impak kemasukan pelancong-pelancong asing ke negara kita, kerana kita telah mendapat dan memperolehi hampir RM24 bilion setahun. Baru-baru ini telah menurun semasa zaman pandemik COVID-19, ianya telah menurun hampir RM9 hingga RM8 bilion. Jadi, ini ketara sangat. Bagi saya, kalau kita fikirkan balik, kalau kita kaji semula, hari ini selepas pandemik COVID-19 Tuan Pengerusi, saya yakin Tuan Pengerusi setuju dengan saya, yang mana rakyat luar negara hendak datang ke Malaysia dia mesti ada sales team di luar negara untuk menyatakan keadaan situasi sebenarnya dekat ground zero dalam negara Malaysia tercinta ini. Ini kerana, pendapatan negara di antaranya sumbangan yang besar datangnya daripada pelancong. Jadi, saya harap kementerian sekiranya mereka hendak tutup, telah menjalankan kajian. Jangan tutup dahulu sebab ia masih face to face punya transcation. Face to face punya explanation harus dilaksanakan di luar negara khususnya, di Europe dan negara-negara seperti Amerika ataupun di London. Mereka masih hendak tahu dan dengar daripada kita dengan powerpoint presentation. Kalau setakat dalam online, Tuan Pengerusi, tidak mungkin kita boleh convince rakyat di luar negara untuk datang ke negara kita, bertandang dan bercuti di negara kita. Jadi, saya harap sangat kerajaan kalaulah ada cita-cita dan niat hendak tutup saya rasa this is not the right time dengan izin, Tuan Pengerusi kerana kita masih dalam pandemik belum lagi endemik.
Kita perlu uar-uarkan secara bersemuka tentang kehebatan seperti ‘Pak Dubes’, Yang Berhormat Pasir Salak sebutkan tadi. Apa yang sedang berada dalam negara kita, kita mempunyai tempat-tempat yang cantik, menarik. Sekadar saya menyokong untuk datang ke Baling, saya juga tidak diskaun pergi ke J.W.W Birch di Pasir Salak. Di situ pun ada sejarah. Di banyak negeri lain, di kawasan-kawasan lain, kita harus uar-uarkan secara bersemuka. Justeru, sekali lagi saya merayu kepada Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya dan kerajaan, sekiranya ada niat nak batalkan, tolong tangguhkan terdahulu demi negara Malaysia, negaraku demi untuk membangunkan ekonomi dalam konteks pelancongan. Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Baling.
Well done, Yang Berhormat Baling. [Ketawa]
Sekarang, saya persilakan Yang Berhormat Kalabakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk membahaskan peruntukan untuk Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya. Saya terus kepada Butiran 050100 – Pelan Pemulihan Pelancongan yang diperuntukkan sejumlah RM230 juta iaitu kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan MOTAC bagi tahun 2022. Industri pelancongan negara terjejas teruk dalam tempoh pandemik ini dengan anggaran kerugian pada tahun ini berjumlah hampir RM165 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Sabah hanya memperoleh hasil sejumlah RM174 juta berbanding dengan RM1.45 bilion tahun lalu. Ini menunjukkan betapa terkesannya sektor pelancongan di Sabah yang merupakan penyumbang hasil ketiga terbesar untuk negara kita. Justeru, bagi menyegerakan pemulihan sektor pelancongan di Sabah, saya ingin tahu daripada jumlah RM230 juta di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan, adakah kementerian akan menyediakan geran bagi membantu pihak industri pelancongan dan pengusaha inap desa atau homestay membangun, menyelenggarakan dan mempromosi semula pemilikan mereka. Butiran kedua, saya ingin menyentuh Butiran 010500 – Pembangunan Prasarana. Apakah bentuk kerjasama yang dijalankan bersama kerajaan Sabah bagi memperhebatkan usaha merangsang kembali pembangunan sektor pelancongan melalui inisiatif termasuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan terutamanya di kawasan luar bandar? Berapakah pula peruntukan yang disediakan bagi tujuan ini? Ketiga, berkenaan dengan peruntukan tambahan RM500 juta yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan. Ia juga termasuk pembangunan infrastruktur pelancongan di Sabah dan Sarawak. Saya ingin bertanya, berapakah jumlah projek dan nilainya di Sabah. Apakah pula peruntukan tersebut bagi projek baharu dan bagaimana kami sebagai Ahli Parlimen dari Sabah ingin memohon projek-projek pelancongan di kawasan kami. Selain daripada itu, bagi memastikan setiap projek yang dirancang untuk dilaksanakan di Sabah dapat dipercepatkan. Apakah kaedah-kaedah baru yang dirasakan sesuai untuk dilaksanakan memandangkan sebelum ini terdapat pelbagai isu dan cabaran yang kementerian sedia maklum. Seterusnya, Butiran 0300300 - Pengurusan Acara dan Butiran 030200 – Dasar dan Perancangan Strategik. Saya ingin bertanya, apakah strategi MOTAC dalam penganjuran program-program kebudayaan yang melibatkan pengunjung apabila negara memasuki fasa endemik? Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh MOTAC dalam memastikan pematuhan SOP dalam pelaksanaan program-programnya? Saya ingin mendapatkan
penjelasan, apakah yang membezakan bahagian ini dengan CENDANA? Mengapakah CENDANA tidak diletakkan di bawah MOTAC? Seterusnya Butiran 030200 – Hubungan Antarabangsa Kebudayaan. Apakah peranan sebenar bahagian ini sehinggakan Wisma Putra dilihat seolah-olah mengambil peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan oleh bahagian ini. Bukankah sepatutnya MOTAC yang menjadi kementerian induk di dalam bidang ini dan Kementerian Luar Negeri menjadi pemudah cara? Saya rasa kalau ini berterusan dan berkekalan, bahagian ini sepatutnya dibubarkan atau disatukan di bawah Bahagian Dasar Kebudayaan. Yang terakhir, saya ingin menyentuh Butiran 040600 – Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB). Tidak ada peruntukan bagi tahun ini berbanding RM4.8 juta tahun hadapan. Saya ingin tahu mengapa. Adakah MyCEB akan dimansuhkan? Peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh MyCEB adalah besar dalam mempromosi dan memasarkan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara perniagaan di mata dunia. Adakah apabila hampir dua tahun MyCEB tidak dapat memainkan peranan sepenuhnya akibat COVID-19, kerajaan terus ingin memansuhkannya? Bagi saya kalau ini yang berlaku, ia adalah satu tindakan yang tidak adil kerana mereka telah pun menyumbang berbilion ringgit kepada negara sejak ianya ditubuhkan. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Kalabakan. Saya kini menjemput Yang Berhormat Kuala Krai, silakan.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Waalaikumsalam.
Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Saya ucap tahniah kepada MOTAC atas kenaikan peruntukan sebanyak RM23,077,500 untuk tahun 2022. Saya ingin menyentuh B.31, Butiran 030500 – Warisan Negara. Tuan Pengerusi, saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Menteri berkaitan dengan Jambatan Sultan Ismail Petra. Jambatan warisan ini juga dikenali dengan nama Gertak Gantung Sungai Nal. Ia merupakan satu-satunya jambatan gantung di negeri Kelantan. Jambatan ini amat penting bagi menghubungkan Kota Bharu dengan Kuala Krai melalui jalan raya sewaktu ketika dahulu. Ia dibuka pada 19 April 1932 oleh Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV yang berusia hampir 90 tahun pada hari ini. Reka bentuknya menyerupai kebanyakan jambatan yang terdapat di Eropah. Saya telah menyebutnya berkali-kali di Dewan ini termasuk dalam Kamar Khas tentang usaha untuk membaik pulih warisan yang tidak ternilai yang terdapat di Kuala Krai ini. Selain itu, saya juga telah menghantar surat permohonan. Ekoran daripada itu, pihak kementerian telah meminta laporan daripada Majlis Daerah Kuala Krai dan telah pun dihantar laporan tersebut pada bulan Mac yang lalu kepada pihak MOTAC. Sehingga sekarang ini, saya dapat maklumat tiada apa-apa jawapan daripada pihak kementerian. Jadi, saya ingin mendapatkan respons daripada pihak kementerian tentang isu ini kerana jambatan yang usang ini sering dijadikan kawasan untuk tujuan penggambaran outdoor bagi pengantin baharu kerana keunikannya tetapi saya risau ia menjadi malapetaka kepada orang ramai dan juga akan rosak dimakan usia satu ketika nanti. Tuan Pengerusi, saya merujuk kepada B.31 Butiran 031100 – Perbadanan Kemajuan Kraf Tangan Malaysia. Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada Tuan Pengerusi dan juga Dewan yang mulia ini yang telah bersetuju di
atas cadangan pihak kementerian membenarkan memakai baju batik yang cantik, yang ceria pada hari ini di dalam Dewan yang mulia ini khususnya pada setiap hari Khamis. Ternyata langkah ini menunjukkan kerajaan begitu prihatin dan memberi sokongan padu kepada industri batik negara. Semoga usaha ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada pemain-pemain industri batik yang kebanyakannya dari negeri Kelantan dan juga Terengganu. Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini berkaitan harga batik Malaysia yang agak tinggi sedikit. Soalannya ialah apakah puncanya? Adakah bahan mentahnya mahal seperti kain putih, pewarna dan sebagainya ataupun nilai seninya yang menyebabkan harganya mahal? Saya harap pihak kementerian dapat mengadakan libat urus dengan pemegang taruh dan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya rakyat di luar sana turut mampu memiliki batik Malaysia yang sangat unik ini. Indonesia misalnya dapat menjual batik mereka dengan harga yang lebih kompetitif dan mampu milik. Saya beranggapan industri ini menjadi lesu kerana kurangnya pembeli yang mampu membeli batik dengan harga yang mahal. Saya cadangkan kita, Ahli-ahli Dewan yang mulia ini, Ahli-ahli Parlimen memilih batik Malaysia walaupun harganya agak tinggi berbanding batik Indonesia. Tuan Pengerusi, saya ingin merujuk kepada B.31 Butiran 040700 – Islamic Tourism Centre. Saya ingin bertanyakan, ke manakah perbelanjaan kepada butiran ini disalurkan? Saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan Islamic tourism ini. Saya cadangkan pihak kementerian boleh aturkan lawatan kita yang ada di sini ke mana- mana tempat Islamic tourism yang bernaung di bawah program ini. Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak kementerian supaya dapat mengadakan kolaborasi dengan pusat-pusat pengajian pondok atau kita namakan sebagai ‘pondokstay’.
‘Pondokstay’ ialah sebuah produk yang menyediakan tempat tinggal dan dalam masa yang sama menyediakan tempat pengajian agama. Saya yakin produk ini akan diterima ramai seandainya dipromosikan dengan baik. Di Kelantan terdapat banyak pondok yang sesuai untuk dijadikan sebagai produk projek perintis untuk program ini. Para pelancong boleh bercuti di pondok, dalam masa yang sama mereka boleh mengikuti kursus pendek yang boleh disediakan oleh pondok dengan kerjasama pihak kementerian. Isu terakhir Tuan Yang di-Pertua ialah Maksud P.31, Butiran 01100 – Program Penyediaan/Peningkatan Kemudahan Pelancongan. Saya tertarik dengan kenaikan melebihi 100 peratus peruntukan pada program ini. Saya yakin kenaikan ini berkaitan dengan usaha pihak kementerian memartabatkan industri pelancongan. Saya amat berharap ia akan turut mengalir dan melimpah ke Kuala Krai. Kuala Krai sudah bersedia dengan produk pelancongan yang menarik dan pelbagai. Selain mempunyai tempat yang cantik dan unik seperti Lata Berangin, Gua Ikan, Gua Keris, Gunung Stong, Tangga Krai dan terbaru Zoo Kuala Krai yang mana ianya adalah satu- satunya zoo yang terdapat di negeri Kelantan. Kuala Krai juga terkenal dengan syurga makanan. Makanan yang enak seperti nasi kerabu, mi udang, gulai ikan sungai, sambal pijak, asam rong iaitu gulai campuran biji getah dan banyak lagi. Yang terakhir Tuan Pengerusi ialah butiran yang sama. Saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerian supaya dapat menaik taraf setiap satu kawasan Parlimen dengan satu produk pelancongan. Dalam masa lima tahun saya yakin semua kawasan dan produk pelancongan akan berubah dan menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Contohnya, pihak kementerian mengenal pasti satu kawasan pelancongan di Batang Sadong, kawasan Yang Berhormat Menteri, untuk dibaik pulih dan dinaik taraf pada tahun 2022. Diikuti dengan kawasan Parlimen Segamat, kawasan Yang Berhormat Timbalan Menteri dan sudah pasti jangan lupalah kawasan Kuala Krai, kawasan saya sendiri dan begitulah seterusnya Yang Berhormat Tuan Pengerusi.
Tahun 2023, modus operandi yang sama dapat dilaksanakan. Sudah pasti dalam masa lima tahun kita akan dapat lihat suasana baru produk-produk pelancongan di negara kita ini sudah pasti akan menarik pelancong dari luar dan dari dalam negara. Tuan Pengerusi, itu saja ucapan saya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Segambut.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Pertamanya untuk MOTAC, ia bukan sekadar mempromosikan destinasi percutian kerana tourism ini melibatkan banyak sektor sampingan ataupun complimentary sectors. Jadi, kalau kita lihat pendapatan tourism 2019, international tourist expenditure RM86 bilion dan negara kita sekarang kehilangan dana ini, sumber pendapatan ini. Jadi kalau kita lihat spesifiknya Butiran 020600 – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM). Saya lihat dalam butiran belanjawan ada RM152 juta yang dibelanjakan. Soalan saya adalah selama dua tahun ini sempadan ditutup, semua aktiviti pelancongan merata dunia terjejas, apakah langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk cut cost, untuk kurangkan pembaziran dan sama ada pegawai-pegawai di luar negara ini, adakah mereka dipanggil balik untuk pulang ke sini sementara PKP ataupun sementara sempadan ditutup, apakah langkah untuk mengelakkan pembaziran? Itu yang pertama. Keduanya, hala tuju MOTAC. Perlu sediakan SOP khas untuk ketibaan pelancong kerana kita tahu industri ini sekarang under severe attack. Kita pastikan industri ini tidak tenggelam dan pupus. Kalau kita lihat di rantau ini sekarang, Indonesia dan Thailand jauh melangkah depan berbanding dengan negara kita. Ketiganya adalah Butiran 030000 – Pembangunan dan Promosi Kebudayaan dan Butiran 040300. Kita sebenarnya ada banyak produk lokal yang kita boleh promosikan. Baru-baru ini sahaja Anugerah Pasar Bersih dan Selamat yang diberikan oleh KKM kepada juara iaitu Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail di Segambut. Jadi, kalau kita lihat produk seperti ini ia organik dan kita boleh cari lokasi seperti ini yang boleh mempromosikan kehidupan biasa rakyat Malaysia dan setiap kali orang datang saya cadangkan kepada Tourism untuk bawa pelancong bawa ke tempat-tempat seperti ini yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Kuala Krai tadi, untuk kita pastikan, kita boleh promosikan kehidupan setiap hari, bantu petani, nelayan, tukang jahit juga ada di situ dan seniman. Isu seterusnya Butiran 020400 – Pembangunan Industri. Kalau kita sekarang rata- rata semua hotel mengalami kehilangan pekerja semasa PKP kerana pekerja tahu kalau ada PKP lagi industri ini yang akan ditutup dahulu. Jadi semua sudah lari. Sekarang bila dibuka semua hospitality, housekeeping, banyak hotel tidak cukup tenaga kerja untuk bersihkan bilik. Jadi, saya hendak cadangkan untuk MOTAC lead perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia untuk pastikan berikan latihan ataupun subsidi. Kena bantu agresif semua hotel ini supaya bila kita buka semula dia boleh cope, sekarang masa cuti Deepavali, banyak hotel, pelancong kena tunggu berjam-jam kerana sumber manusia ini semua hilang tiba-tiba. Jadi, kita sebenarnya ada banyak channel, boleh bincang dengan KDN, Sumber Manusia untuk kita tengok bagaimana kita boleh channel yang hilang pekerjaan semua untuk kita bagi insentif untuk mereka masuk bidang ini. Keduanya adalah Menteri perlu selaraskan dengan banyak agensi untuk bantu mereka bukan sahaja produk promosi tetapi bincang dengan MOF, bincang dengan kerajaan negeri, bincang dengan PBT untuk satu pengecualian cukai hiburan, bukan semua negeri bagi sekarang dan juga pengecualian cukai taksiran terutamanya hotel kena bayar taksiran. Mereka tulis surat kepada PBT tidak ada jawapan. Jadi, saya lihat bidang kuasa MOTAC untuk bantu selaraskan. Untuk tax rebate saya diberitahu banyak theme park, entertainment centres dan juga panggung, cinemas, mereka kehilangan berjuta-juta.
Jadi kalau kita bagi pengecualian cukai pun mungkin bukan untuk tahun ini saja, dalam jangka masa lima tahun untuk bantu mereka recover. Akhir sekali Tuan Pengerusi, baru hari ini saja 13 persatuan telah mengeluarkan satu kenyataan bersama dengan izin, urgent appeal to the Prime Minister for businesses in a negative list of National Recovery Plan, final Phase 4. Jadi, apa yang dilihat sekarang semua sektor sudah dibuka kecuali ada negative list dalam SOP MKN dan negative list ini macam terabai. Jadi mereka tidak ada exit strategy dan banyak list dalam negative list ini, mereka terlibat dalam shopping malls dan tourism bergantung sangat kepada mereka. Jadi saya merayu kepada MOTAC untuk lead perbincangan ini dengan MKN untuk bantu sektor ini. Akhir sekali industri ini memerlukan banyak sokongan daripada kerajaan, bukan sahaja daripada satu kementerian. Jadi, saya berharap MOTAC boleh bantu selaraskan supaya pendapatan ini boleh dijana semula untuk membantu bukan sahaja hospitaliti tetapi F&B merata-rata terutamanya di Kuala Lumpur. Mereka banyak terjejas. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Segambut. Yang Berhormat Tumpat, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Pertamanya, saya ingin menyentuh Butiran 020200 – Pusat Malaysia Rumah Keduaku. Saya meneliti beberapa perubahan terhadap syarat dasar Malaysia Rumah Keduaku iaitu menaikkan threshold pendapatan bulanan RM40 ribu, mempunyai simpanan tetap berjumlah RM1 juta serta aset cair mencecah RM1.5 juta. Saya ingin bertanya berapa peratus golongan warga asing yang berada dalam program ini ketika ini? Berapakah sumbangan program Malaysia Rumah Keduaku ini kepada ekonomi negara dalam tempoh lima tahun terakhir dan secara khususnya dalam tempoh ataupun bagi tahun 2020. Selain itu, kebiasaannya negara memperoleh pendapatan menerusi pembelian hartanah, pembelian kenderaan dan perbelanjaan isi rumah bulanan dan sebagainya. Cuma persoalan yang jarang ditanggapi adalah apa nilai tambah program ini kepada sosioekonomi masyarakat tempatan. Oleh itu, saya berpandangan sewajarnya kerajaan turut meletakkan keutamaan kepada warga asing yang dalam masa yang sama boleh menyumbang sesuatu kepada pembangunan setempat supaya program ini turut memberi timbal balas yang seimbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat dan tidak semata-mata melihat kepada keuntungan ekonomi negara. Mohon pandangan kementerian. Seterusnya Tuan Pengerusi, Butiran 01400 – Penyelenggaraan Kemudahan Infrastruktur. Di bawah butiran saya ingin membangkitkan mengenai cadangan yang saya buat mewujudkan signage nama bandar yang besar dan berlampu di sepanjang Sungai Kelantan seperti mana yang saya sentuh dalam perbahasan saya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Kedua Belas sesi yang lalu.
Belanjanya tidak besar, namun kesannya besar kepada industri pelancongan di Kelantan. Mohon penjelasan kerajaan. Seterusnya pada butiran sama adalah berkenaan dengan menaik taraf Jeti Pulau Suri di mana terdapat Pasar Terapung Pulau Suri yang dapat menarik ramai pengunjung apabila beroperasi semula, selepas ditutup apabila COVID-19 melanda negara baru-baru ini. Naik taraf jeti ini sangat penting bagi mengawal keselamatan para pengunjung dan peniaga setempat. Saya ingin mengetahui, sama ada cadangan ini ada dalam senarai projek yang dijalankan oleh kementerian bagi tahun 2022 serta jangkaan siap? Yang Berhormat Menteri sendiri ada melawat kawasan ini baru-baru ini. Saya mengharapkan agar tumpuan
terhadap projek ini dapat diberikan keutamaan oleh kementerian kerana ia sangat penting kepada pembangunan ekopelancongan di sana. Seterusnya masih di bawah butiran yang sama adalah cadangan pembangunan di mukim Tebing yang melibatkan antaranya Ladang Kelapa Pandan, Ladang Durian Belanda berkeluasan 25 ekar serta pondok Meheliah yang berpotensi dijadikan hab terapi rohani seperti mana juga pondok stay yang disebut oleh sahabat saya dari Kuala Krai tadi, sebagai hab pelancongan rohani, agama dan pendidikan. Mohon respons daripada kerajaan. Seterusnya Butiran 040300 – Program Penggalakan Pemasaran, Promosi dan Acara-acara Pelancongan, Seni dan Budaya. Saya ingin bertanya rancangan kementerian untuk merancakkan ekopelancongan di Tumpat yang menjadi tumpuan pelbagai pusat kraf tangan tempatan seperti pembuatan kraf perak yang terkenal, pusat pengeluaran serunding, dodol, keropok, budu dan sebagainya yang juga dilawati oleh Yang Berhormat Menteri baru-baru ini. Parlimen Tumpat juga terkenal dengan beberapa buah destinasi yang boleh menarik pelancong-pelancong seperti Suluk Tok Selehor, Kubur Tok Janggut, pantainya yang menarik dan sebagainya. Maka perkara ini dapat ditingkatkan kiranya dibuat perancangan ekopelancongan yang teliti dan berstrategik. Saya juga ingin menyampaikan penghargaan khusus kepada Yang Berhormat Menteri yang menyatakan sokongan penuh perancangan untuk mencalonkan Masjid Kampung Laut yang telah berusia mencapai lebih 300 tahun sebagai tapak warisan dunia di bawah UNESCO. Begitu juga cadangan menyediakan ruang niaga kepada pengusaha tempatan di Laman Warisan Serunding Kampung Laut yang menjual pelbagai makanan istimewa tempatan seperti serunding, dodol dan gelembung buaya dan banyak lagi. Dalam perkara ini saya mohon penjelasan kerajaan. Apakah rancangan bagi menggalakkan pelancongan di Kampung Laut ini sesuai dengan beberapa pengisytiharan yang dibuat oleh kementerian tadi? Supaya ia nanti tidak sekadar diisytiharkan tanpa perancangan rapi bagi menjayakannya. Tepat masanya, terima kasih Tuan Pengerusi.
Yang Berhormat Tumpat, terima kasih. Seterusnya Yang Berhormat Petaling Jaya.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya merujuk kepada Butiran 020200 – Rumah Malaysia Rumahku (MM2H). Saya hendak tambah dan meminta Yang Berhormat Menteri menjelaskan, adakah road map untuk mengembangkan potensi pelabuhan Program MM2H ini? Apakah strategi tindakan dan juga rancangan yang sedia ada untuk menarik balik pelabur ke program tersebut? Program ini telah menghadapi banyak kerugian kewangan kerana sekatan ketat yang dikenakan. Pada tahun 2020, lebih daripada 6,000 permohonan kepada ejen MM2H telah ditangguhkan atau ditolak sama sekali tanpa alasan yang diberikan. Ini adalah satu cabaran kepada program ini dan telah disebutkan oleh rakan-rakan Ahli Parlimen di sini. Saya rasa kita harus faham pada Program MM2H ini adalah satu program pelabuhan ekonomi yang telah terbukti mampu menjana pendapatan paling tinggi kepada negara kita. Jadi, bagi pengusaha yang telah menjayakan program ini untuk negara kita, apakah bantuan yang dihulurkan kepada mereka untuk membantu pemulihan ekonomi mereka daripada kerajaan? Bagi pelabur yang telah membeli rumah, membayar yuran, membayar kepada program pelancongan kesihatan mereka, membayar sewa, membayar yuran pendidikan. Apakah bantuan yang diberikan kepada mereka untuk membantu mereka dalam pemulihan kewangan? Selepas ini, kerajaan telah mengumumkan terms of reference (TOR) yang baharu dengan izin. Berapa ramai pelancong dari luar negara telah memohon untuk program yang baharu ini dan yang terlibat dalam program MM2H? Satu lagi ialah merujuk kepada Butiran 020500 – Pusat Pelancongan Malaysia. Pada masa kini, satu cabaran yang besar ialah hotel-hotel yang berada di negara kita
menghadapi kekurangan pekerja. Saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri, apakah rancangan yang sedia ada untuk menyelesaikan isu ini?
Yang Berhormat, mohon mencelah sedikit.
Ya.
Saya meneliti hujahan daripada Yang Berhormat Petaling Jaya. Memang sektor perhotelan banyak terjejas disebabkan pandemik. Sekarang kita kena pulihkan semula. Selain daripada usaha inisiatif daripada kerajaan, saya rasa pihak pengurusan hotel sendiri juga kena mempunyai satu anjakan daripada segi minda pengurusan dan pendekatan mereka. Saya beri satu contoh, ini saya kecewa sedikit. Saya kena sebut hotel ini. Dia berada di Selatan Johor, dalam satu kawasan taman tema yang hebat Legoland, tetapi tidak reti hendak jawab e-mel daripada potential customer, pelanggan yang berpotensi untuk hadir. Dua minggu berulang kali tidak jawab e-mel. Orang hendak tanya, hendak require sebab sekarang ini boleh rentas negeri, boleh masuk check-in hotel dan sebagainya, tetapi cara ini tidak betul. Jadi saya mohon kerajaan juga memberikan teguran kepada hotel-hotel supaya cepat menjawab pertanyaan daripada pelanggan. Ini pengalaman saya sendiri. Saya ada pengalaman satu lagi, dua buah hotel di Cameron Highlands. Dalam masa beberapa jam, terus dia jawab. Inilah cara yang kita hendak. Kita hendak satu galakkan yang melibatkan keseluruhan kerajaan dan juga pihak swasta untuk memajukan sektor perhotelan. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat. Apa yang penting ialah kita hendak memahami, apakah road map, rancangan daripada kerajaan untuk memulihkan kembali industri pelancongan yang berada di negara ini? Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Petaling Jaya. Yang Berhormat Sibuti.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin membawa beberapa butiran, Maksud Bekalan 31 iaitu Butiran 03100 – Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara. Kita dapati bahawa penggiat seni itu, terutama sekali pelukis-pelukis sangat terkesan ketika COVID-19 ini. Hampir 90 peratus penggiat seni telah hilang punca dan juga menghadapi tekanan untuk mendapatkan pendapatan dan hilang punca untuk berkarya. Mereka juga kehilangan tempat ataupun platform untuk mempamerkan karya-karya seni mereka di balai-balai seni ataupun di dewan-dewan seperti kebiasaan mereka lakukan sebelum COVID-19 ini. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri kerana telah berjaya membawa idea dan juga merealisasikan penggunaan batik pada hari Khamis di Parlimen. Saya ingin membawakan cadangan dan kebetulan Tuan Pengerusi pun berada di sini supaya Yang Berhormat Menteri membawa penggiat-penggiat seni visual, ataupun penggiat-penggiat seni untuk membawa karya dan juga mempamerkan karya-karya mereka di Dewan Parlimen ini, ataupun di Bangunan Parlimen ini. Ini bukan satu idea yang baru. Saya pernah mendengar pandangan ini daripada Yang Berhormat Lembah Pantai di mana beliau telah mencadangkan supaya dinding-dinding di sekitar Parlimen ini dihiasi dengan karya-karya seni.
Setuju, setuju.
Ini akan membantu penggiat- penggiat seni untuk mempamerkan– sekiranya kebetulan Parlimen ini akan dibuka kepada orang-orang ramai, dibuka kepada pelawat-pelawat daripada luar, ini akan menjadi salah satu punca pendapatan selain kita dapat menghiasi ruang-ruang Parlimen serta di pejabat-pejabat Parlimen.
Saya rasa idea ini dapat membantu di samping ini akan dapat meredakan emosi- emosi Ahli-ahli Parlimen yang sedang berbahas ketika ini. Selain daripada itu, saya ingin menyebut berkenaan tentang Butiran 040300 – Program Penggalakan Pemasaran Promosi Acara-acara Pelancongan Seni dan Budaya. Saya ingin menyentuh berkenaan tentang aktiviti-aktiviti pelancongan di kawasan Parlimen Sibuti terutama sekali kerana kawasan Parlimen Sibuti mempunyai satu khazanah dunia yang hebat iaitu Gua Niah. Saya ingin bertanyakan kepada Yang Berhormat Menteri apakah langkah-langkah pemulihan bagi membantu Gua Niah mendapat status di bawah UNESCO. Juga, bagaimanakah pihak kementerian dapat mempromosikan Gua Niah ini supaya pelancong-pelancong asing dapat kembali dan melawati Gua Niah ini yang mempunyai pelbagai khazanah dan juga keindahan yang perlu diterokai oleh pelancong. Selain daripada itu, Parlimen Sibuti mempunyai Sibuti Coral Reef yang juga setanding dengan coral-coral reef yang berada di kawasan seluruh dunia ini. Ini merupakan salah satu pusat untuk diving centre, dengan izin Tuan Pengerusi. Kita juga mempunyai pantai yang panjang seperti Pantai Tusan, Pantai Bungai, Pantai Kuala Sibuti. Ini adalah merupakan tempat-tempat rehat serta mempunyai hidangan makanan yang sangat sedap. Selain daripada itu, kawasan Parlimen Sibuti juga sangat meriah dengan sambutan Majlis Makan Tahun Masyarakat Kedayan yang sering diadakan. Makan Tahun ini diadakan berminggu-minggu sepanjang bulan Februari hingga ke bulan Mei. Saya berharap aktiviti dan kebudayaan masyarakat Kedayan ini dapat dijadikan bahan promosi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Saya mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri supaya dapat mengangkat budaya bermukun yang juga sangat terkenal di kalangan masyarakat kami di Parlimen Sibuti sebagai showcase pelancongan sekiranya mengadakan lawatan-lawatan di luar negara. Saya juga ingin menyentuh satu perkara terakhir iaitu Butiran 050100 – Pelan Pemulihan Pelancongan. Saya ingin mengetahui adakah selain daripada Pelan Pelancongan, adakah pihak kerajaan telah juga menyediakan satu pelan sekiranya berlaku semula COVID-19 ini, apakah langkah-langkah? Adakah kerajaan bersedia dalam sektor pelancongan kerana kita melihat apabila COVID-19 ini, sektor pelanconganlah yang mempunyai masalah yang terbesar iaitu kehilangan punca hampir 100 peratus kepada pemain-pemain industri pelancongan. Itu sahaja Tuan Pengerusi, saya ucapkan terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sibuti. Yang Berhormat Jerlun, silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Tuan Pengerusi, pada hari jadi saya hari ini saya juga mengambil kesempatan untuk membahaskan...
Selamat hari jadi.
[Ketawa] Terima kasih. Membahaskan Bajet 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan. Bermula dengan Butiran 020100 – Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa. Berkait dengan Akta Pelancongan yang saya kira sudah tiba masanya untuk kita pinda bagi pastikan bahawa agensi-agensi pelancongan tempatan kita diberikan keutamaan. Sepertimana yang kita sedia maklum, sekarang ini sudah banyak online travel agency (OTA), agensi-agensi pelancongan atas talian yang menawarkan perkhidmatan mereka dalam pasaran tempatan kita. Contohnya Agoda, Expedia dan sebagainya yang mempunyai akses pelanggan yang begitu besar juga akses kepada pembekal perkhidmatan.
Mereka menawarkan saingan yang begitu hebat kepada syarikat-syarikat tempatan kita dan saya harap mereka ini juga akan tertakluk kepada pelesenan tempatan. Saya ingin tahu adakah mereka dikenakan cukai seperti mana syarikat-syarikat tempatan kita? Keduanya Tuan Pengerusi, Butiran 030500 – Warisan Negara yang berjumlah RM16.7 juta. Seperti mana yang kita tahu, banyak negara-negara asing menggunakan satu produk pelancongan yang besar untuk menarik pelancong dalam negara mereka. Contohnya di Mesir kita ada piramid, di Kemboja ada Angkor Wat dan di Indonesia ada Borobudur. Di Malaysia ini, selain daripada empat tapak warisan yang diiktiraf oleh UNESCO kita juga sebenarnya mempunyai satu produk yang belum lagi dibangunkan sepenuhnya iaitu Tapak Arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang yang terletak di negeri Kedah. Saya kira sudah tiba masanya kita memberi perhatian kepada tapak arkeologi yang sangat bernilai tinggi ini supaya ia menjadi suatu tarikan pelancongan yang terkenal seantero dunia yang boleh setaraf dengan piramid, Borobudur dan sebagainya. Ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada negeri Kedah Darul Aman tetapi juga bagi seluruh negara. Saya fikir mungkin Kerajaan Pusat tidak mempunyai peruntukan yang secukupnya untuk tujuan pembangunan ini. Malah kita lihat dalam tajuk warisan negara ini hanya RM16.7 juta diperuntukkan tetapi saya lihat yang menariknya ialah di bawah Butiran 80001 – PPP/PFI yang memberi gambaran bahawa mungkin ada kaedah di mana kerajaan boleh bekerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan satu- satu produk pelancongan itu. Saya mengharapkan bahawa mungkin boleh dijemput syarikat berkait kerajaan seperti Khazanah Nasional ataupun syarikat-syarikat tempatan yang lain untuk membangunkan Tapak Arkeologi Sungai Batu ini untuk tujuan yang saya maksudkan sebentar tadi. Pada ketika ini, kita cuma ada empat kawasan ataupun pusat yang diiktiraf oleh UNESCO. Antara lain Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, Bandar Bersejarah Melaka dan Georgetown, Taman Negara Gunung Mulu dan juga Taman Kinabalu. Walhal di Indonesia ada sembilan, Tuan Pengerusi. Jadi, saya harap kita boleh memberi tumpuan pada hal yang saya bangkitkan tadi. Saya ingin bertanya apakah butiran kepada RM230 juta yang akan dibelanjakan di bawah Butiran 050100 – Pelan Pemulihan Pelancongan. Akhir sekali, tadi pun Yang Berhormat Sibuti telah sentuh perkara ini, saya ingat Yang Berhormat Lembah Pantai pun sangat berminat dalam hal karya seni yang kita ada di Malaysia ini. Sebenarnya Tuan Pengerusi, karya lukisan kita ini terkenal di seluruh dunia malah ada lukisan kita yang dijual dengan harga ratusan juta di Amerika Syarikat termasuk di New York. Jadi, saya harap kita akan beri peruntukan yang sewajarnya. Kalau lebih daripada RM20 juta yang diperuntukkan di bawah Butiran 031000 – Perbadanan Kemajuan Kraf tangan Malaysia bertujuan untuk mempromosikan lebih banyak lagilah karya seni kita di peringkat antarabangsa kerana kita sebenarnya mempunyai bakat yang perlu dicungkil di bidang tersebut. Terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih, Yang Berhormat kerana berucap mengenai Lembah Bujang. Selamat hari jadi lagi Yang Berhormat, semoga Allah SWT berikan kesihatan, panjangkan umur dan murahkan rezeki. Yang Berhormat Dungun, silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Pengerusi. Butiran 030800 – Perpustakaan Negara. Saya ingin tahu adakah kementerian merancang untuk membantu kerajaan negeri dalam memastikan Perpustakaan Negeri dapat dipertingkatkan kualiti daripada segi kelengkapan dan kemudahan sepertimana di Perpustakaan Negara. Saya ingin mengambil contoh Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam merupakan perpustakaan yang serba lengkap dan sesuai untuk kegunaan seisi keluarga. Mohon jika dapat khidmat nasihat juga diberikan oleh Perpustakaan Negara kepada
perpustakaan di negeri-negeri bahkan juga jika ada di daerah-daerah dan juga di desa- desa.
Butiran 030900 – Arkib Negara. Antara peranan arkib ialah pembangunan masyarakat yang progresif melalui bahan-bahan sejarah yang mempunyai nilai kebangsaan dan kenegaraan. Soalan saya, adakah peruntukan sebanyak RM45,016,500 pada tahun 2022 ini meliputi juga dengan misi untuk mendapatkan kembali manuskrip dan dokumen berkenaan sejarah negara kita? Seperti ribuan manuskrip alam Melayu dikatakan bernilai puluhan juta ringgit tersimpan di beberapa buah lokasi seperti di British Library, London, United Kingdom; Museum Topkapı, Istanbul, Turki; muzium di Belanda selain Portugal. Manuskrip alam Melayu ini terdiri dari pelbagai kategori. Antaranya Hikayat Cerita-cerita Melayu, Undang- undang Berkanun ketika era kegemilangan Melaka sehingga kepada surat rasmi Raja- raja. Menerusi arkib digital di British Library, wartawan menemui lebih 100 naskhah manuskrip pelbagai bidang, termasuk Kanun Bertulis, sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah serta surat daripada Kesultanan Melayu kepada pembesar luar. Saya mohon mencadangkan kementerian mempertimbangkan secara serius usaha mendapatkan semula semua manuskrip yang berharga ini agar generasi negara kita akan datang dapat dibentuk dengan nilai identiti bangsa dan negara berasaskan tatapan dokumen-dokumen manuskrip ini. Seterusnya, Butiran 020300 – Pelesenan Pelancongan. Saya dimaklumkan urusan pelesenan pelancongan ialah tanggungjawab sepenuhnya bawah kementerian. Soalan saya, adakah kementerian mempunyai jaringan kerjasama dengan pejabat pengurusan pelancongan di bawah setiap kerajaan negeri bagi membolehkan kelicinan pendaftaran dan memudahkan pemantauan di peringkat negeri. Pada masa ini, adakah kementerian mengemas kini maklumat pendaftaran lesen? Bagi memastikan hanya pemegang lesen yang tidak mempunyai masalah undang-undang sahaja yang dibenarkan memperbaharui lesen. Di bawah Butiran 020500 – Pusat Pelancongan Malaysia. Berapakah one stop center atau pusat pelancongan Malaysia yang wujud di seluruh negara pada waktu ini? Sejauh manakah keberkesanan kewujudan pusat pelancongan Malaysia dalam sektor pelancongan di negara kita ini? Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Dungun. Saya jemput Yang Berhormat Kota Melaka.
Tuan Pengerusi, seperti yang kita maklum, sektor pelancongan telah menghadapi satu cabaran apabila datangnya pandemik COVID-19 ini. Kita boleh lihat pada tahun 2020 dan juga tahun 2021, semua pengusaha di sektor pelancongan boleh dikatakan perniagaan mereka hancur. Jadi, tahun hadapan 2022 ini, satu tahun yang penting di mana kerajaan perlu membantu mereka untuk menghidupkan semula perniagaan mereka dan juga menyelamatkan sektor pelancongan. Jadi, saya ingin merujuk kepada Butiran 050000 – “ONE-OFF”, di mana di bawahnya, Butiran 050100 – Pelan Pemulihan Pelancongan, yang berjumlah RM230 juta. Satu angka yang amat besar iaitu lebih kurang 22 peratus daripada jumlah Anggaran Perbelanjaan Mengurus. Maka, saya ingin meminta supaya Menteri dapat memberikan butiran yang lebih lanjut ataupun memperincikan bagaimana penggunaan peruntukan ini supaya pada akhirnya ia dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan untuk kita mencapai sasaran kita dan juga matlamat kita. Maka, saya mencadangkan kepada Menteri, kalau boleh beliau memberi taklimat kepada Ahli-ahli Parlimen di mana kawasan mereka merupakan kawasan pelancongan seperti di Kota Melaka, supaya kita boleh menyampaikan maklumat tersebut kepada pengusaha pelancongan untuk mereka memohon peruntukan daripada Pelan Pemulihan
Pelancongan ini. Supaya kita boleh memastikan value of money, dengan izin, dapat mencapai yang terbaik, maksimum untuk pengusaha sektor pelancongan. Saya juga ingin mencadangkan kepada Menteri dalam peruntukan untuk bawah Pelan Pemulihan Pelancongan ini. Kita juga harus jangan tertinggal mereka daripada subsektor seperti pengusaha, penganjur acara, mereka yang menganjur exhibition ataupun penganjur meeting, mereka juga terjejas. Jadi, kita harap supaya Menteri juga dapat membantu mereka. Saya bangkitkan isu ini ialah kerana kalau saya lihat kepada skim pembiayaan pelancongan PENJANA yang dilancarkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin pada tahun 2020. Di mana pada ketika itu sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan untuk membantu pengusaha di sektor pelancongan. Akan tetapi mengikut Laporan LAKSANA yang dikeluarkan pada 17 November, nampaknya kurang mendapat respons. Sehinggakan kita dimaklumkan, daripada RM1 bilion telah dikurangkan kepada RM600 juta sahaja untuk tahun ini dan tahun hadapan juga sebanyak RM600 juta. Oleh sebab tidak ada respons. Tahun lepas bagi RM1 bilion tetapi oleh sebab kurang respons, tahun ini sudah kurang kepada RM600 juta, tahun hadapan juga sebanyak RM600 juta. Jadi, kalau kita lihat kepada Laporan LAKSANA tersebut, sebanyak 701 sahaja permohonan telah dibuat untuk memohon di bawah Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA, sebanyak 700 sahaja, yang diluluskan hanya sekadar 340 permohonan sahaja. Iaitu lebih kurang RM67.5 juta diluluskan. Sedangkan ada sebanyak RM600 juta sedia di sana untuk bagi kepada mereka tetapi kita hanya lulus sebanyak RM67.5 juta, 10 peratus sahaja. Jadi, saya ingin cadangkan kepada Menteri supaya kita perlu bergerak lebih agresif, kita bagi kelonggaran yang lebih supaya pengusaha dapat menikmati skim tersebut. Kita juga harus kurangkan kadar faedah apabila mereka membuat pinjaman. Tuan Pengerusi, satu lagi butiran yang saya ingin rujuk ialah Butiran 020600 – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) ataupun yang disebut sebagai Tourism Malaysia. Pada tahun 2021, sebanyak RM151 juta diperuntukkan dan tahun ini kita lihat sebanyak RM152 juta diperuntukkan. Jadi, saya hendak minta kepada Menteri, bolehkah berikan butiran secara terperinci bagaimana RM151 juta dibelanjakan pada tahun ini? Oleh sebab kita tahu pada tahun ini memang tidak ada aktiviti yang dapat dijalankan oleh Tourism Malaysia. Jadi, boleh maklumkan kepada kita, bagaimana RM151 juta itu digunakan? Pada tahun yang lepas-lepas, kita dapat lihat Tourism Malaysia ini kita perlu tumpukan lebih perhatian, lebih teliti. Kenapa saya kata begitu? Oleh sebab pada tahun 2020, ada kes mahkamah yang melibatkan skandal rasuah yang melibatkan lebih kurang RM90 juta. Pada tahun 2019 pula, CEO Tourism Malaysia pula ditahan, disiasat oleh SPRM. Jadi, memandangkan Tourism Malaysia ini merupakan sebuah agensi, satu lembaga yang begitu kritikal sekali, jadi saya minta supaya Menteri dapat meneliti, memberikan tumpuan kepada Tourism Malaysia ini. Dengan itu, sekian terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka. Tenang sahaja dia hari ini. Yang Berhormat Merbok, silakan.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi. Pertama sekali, saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari jadi buat Yang Berhormat Jerlun, mantan Menteri Besar Kedah antara yang sangat kuat menyokong berkenaan tapak arkeologi Sungai Batu. Saya hari ini merujuk terus kepada Butiran 040300 - Program Penggalakan Pemasaran Promosi dan Acara-acara Pelancongan Seni dan Budaya. Saya ingin tanya,
adakah dalam bajet yang sebegitu tinggi, tapak arkeologi Sungai Batu itu ada allocation. Itu pertama. Yang kedua, berkenaan Program Pemuliharaan dan Pemugaran Tinggalan Sejarah. Di sini cuma ada RM9.8 juta. Jadi, saya ingin menegaskan sekali lagi tapak tamadun ini bukan sahaja tertua di Asia Tenggara tetapi saya ingin ulangi lagi bahkan ia lebih awal, bahkan terawal berbanding Angkor Wat di Kemboja dan juga Candi Borobudur di Jawa Tengah. Akan tetapi saya rasa ia merupakan satu berlian yang sepatutnya kita gilap. Saya ingat kalau kita betul-betul mempromosi tempat ini, sebenarnya orang akan mula kenal. Dia akan menyambungkan sejarah-sejarah lama sebab tapak arkeologi Sungai Batu ini memang telah dilakukan penyelidikan. Sehingga ini ia telah melahirkan 12 orang pelajar peringkat master dan lima orang peringkat PhD dan masih aktif. Tiga master dan tiga PhD buat masa sekarang. Sebenarnya pada zaman PH, pernah diberikan peruntukan sebanyak RM10 juta. Namun, ditarik balik pada tahun lepas ketika lawatan Menteri. Namun, apabila saya persoalkan, Menteri ada menjawab dia akan mengkaji semula dan akan memberi mungkin lebih banyak iaitu RM30 juta ataupun RM50 juta. Jadi, ingin saya kaitkan dengan ucapan pembentangan RMKe-12 oleh Menteri Kewangan yang mana dalam inisiatif industri pelancongan bilangan ke-4, penyelenggaraan infrastruktur pelancongan dengan peruntukan RM50 juta termasuk bangunan Sultan Abdul Samad serta Lembah Bujang di Kedah. Jadi, saya lihat adakah RM50 juta itu untuk jawapan yang Sungai Batu ketika soalan berbentuk lisan ataupun berapa portion yang didapati oleh Lembah Bujang berbanding Bangunan Sultan Abdul Samad. Kemudian, seterusnya saya melihat kepada Butiran 94000 – Pemasaran dan Promosi. Saya juga mohon supaya sentiasa tapak arkeologi Sungai Batu ini di- highlight. Oleh sebab seperti contoh, dalam Tahun Melawat Malaysia 2020 walaupun tidak begitu menjadi kerana kita ada pandemik COVID-19, akan tetapi saya lihat Perlis yang kecil pun ada tiga highlighted programme. Namun, di Kedah cuma letak Langkawi sahaja. Jadi, sedangkan di Tanah Besar Kedah itu ada sebenarnya lokasi-lokasi yang banyak sebenarnya kalau saya boleh sebutkan. Antaranya selain tapak arkeologi Lembah Bujang itu, kita ada Taman Rekreasi Tupah, Sungai Merbok yang memang sangat indah dan hasil laut yang pelbagai termasuk belacan yang sedap. Kemudian, kita ada masjid Pengkalan Kakap. Masjid Pengkalan Kakap ini istimewa kerana ia dibina pada tahun 1800 yang mana kalau Yang Teramat Mulia Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid, Sultan yang ke-25 akan singgah solat di situ ketika lawatannya ke Daerah Kuala Muda. Ini juga adalah tinggalan sejarah yang kita kena ingat. Kemudian, ada satu masjid baharu Al-Busyra, Merbok yang macam R&R. Jadi ini banyak kalau saya hendak sebutkan. Selain daripada perusahaan tiram. Namun, perkara ini tidak dapat dipromosikan ataupun dipasarkan secara baik kerana selalunya ia punya sebab adalah peruntukan. Jadi, saya mohon kepada Kementerian Pelancongan untuk melihat dengan lebih teliti untuk di kawasan Merbok. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Merbok. Yang Berhormat Batu Gajah, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. P31 Butiran 02000 – Pembangunan dan Promosi Pelancongan. Pertama sekali, saya ingin membawa isu kawasan iaitu mengenai Pekan Papan, Batu Gajah. Tuan Pengerusi, Papan adalah sebuah pekan bijih timah yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Akan tetapi wajah pekan ini telah berubah akibat peredaran masa. Pekan ini semakin mundur dan usang. Saya mencadangkan supaya kerajaan menghidupkan semula pekan yang sarat dengan pelbagai peristiwa bersejarah itu.
Dalam pada itu, pekan Papan mempunyai potensi pelancongan yang tinggi dengan bangunan-bangunan zaman kolonial, Istana Raja Billah Mandailing dari Sumatera, lombong bijih timah yang terbiar, taman herba dengan pelbagai kelengkapan, air terjun yang cantik, rumah kediaman seorang tokoh antarabangsa yang terkenal, mendiang Sybil Kathigasu dan macam-macam lagi. Saya mohon supaya Menteri Pelancongan membuat lawatan ke pekan Papan untuk melihat sendiri potensi pelancongan kawasan ini. Saya juga menjemput Tuan Pengerusi untuk datang ke kawasan Papan ini dan juga semua Ahli-ahli Yang Berhormat untuk datang melihat sendiri potensi yang ada di kawasan Papan ini. Aktiviti-aktiviti pelancongan yang giat akan menghidupkan semula kegiatan perniagaan dan riadah serta membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk tempatan kawasan itu. Tuan Pengerusi, Butiran 030500 – Warisan Negara. Saya ingin mendapatkan senarai bangunan-bangunan yang telah disenaraikan sebagai warisan negara di kawasan Parlimen Batu Gajah setakat ini. Dalam kesempatan ini juga, saya mencadangkan supaya tiga buah bangunan di kawasan Parlimen Batu Gajah digazet kan sebagai bangunan warisan. Pertama, kuil Sri Maha Mariamman, Kellie’s Castle, Ladang Kinta Kellas, Jalan Gopeng, Batu Gajah, Perak. Kuil ini dibina pada zaman kolonial iaitu pada tahun 1907. Kedua, Gereja Saint Joseph, Cangkat, Batu Gajah yang ditubuhkan pada tahun 1882. Bangunan baharu telah dibina pada tahun 1928. Dan yang ketiga, Balai Polis Tronoh yang dibina pada tahun 1906 yang pernah menjadi ibu pejabat polis di kawasan ini. Saya juga mencadangkan supaya balai polis yang telah merentasi zaman British dan zaman Jepun ini dijadikan sebagai Muzium PDRM. Tuan Pengerusi, Butiran 030600 – Kebudayaan dan Kesenian. Sebahagian besar dari kalangan artis-artis negara kita tidak mempunyai masa hadapan yang cerah. Ramai daripada kalangan golongan seniman ini bukanlah berpendapatan besar. Mereka juga tidak mempunyai sebarang sekuriti simpanan untuk menyara masa tua. Ramai juga tidak mempunyai perlindungan PERKESO dan insurans. Kementerian harus merangka program-program kebajikan dan keselamatan bagi golongan seniman terutamanya dari B40 dan M40 yang mengorbankan masa dan tenaga ibarat lilin membakar diri semata-mata untuk memperkayakan khazanah seni dan budaya negara kita. Saya juga mencadangkan supaya seniman-seniman veteran tanpa mengira bangsa dan agama perlu diberi pengiktirafan dan penganugerahan darjah kebesaran kepada mereka kerana sumbangan yang tidak terhingga dalam dunia kesenian di dalam dan luar negara. Tuan Pengerusi, Butiran 020100 – Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa. Pada tahun 1948, seniman negara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menjadi legenda yang hidup di dunia filem Melayu membuat kemunculan dalam filem Cinta. Bakat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam muzik, mengarang dan menyanyi membawanya menjadi terkenal di kalangan semua bangsa di negara kita. Orang Melayu, orang Cina, orang India dan semuanya mengenali dan meminati watak legenda itu sehingga kini. Nama Allahyarham masih terpahat sedalam-dalamnya di hati sanubari rakyat Malaysia. Beliau adalah sangat serba boleh sebagai pelakon utama, watak jenaka, artis dramatik, penulis skrip dan pengarah filem. Kebanyakan filem-filem awal yang diterbitkan oleh beliau mengandungi banyak adegan-adegan menyanyi dan menari iaitu satu trend atau lumrah yang diperkenalkan oleh pengarah filem dari India. Hubungan erat pernah wujud di antara Malaysia dan India sejak permulaan industri perfileman di negara kita. Selepas Raj Khan, Shaw Brothers telah membawa masuk banyak pengarah filem dari India. Di antara mereka ialah S. Ramanathan, K. R. Seetharama Sastry, Panni Mujathar dan G. Gros.
Kemudian lahir pula beberapa orang pengarah filem tempatan seperti L. Krishnan dan K.M. Basker yang belajar perdagangan teknik melalui pengalaman dan perantisan. Menjelang tahun 1960-an, banyak ekspatriat telah digantikan oleh pengarah tempatan. Ini adalah satu kemajuan yang dicapai dan sangat membanggakan dalam perkembangan
industri perfileman negara kita. Hari ini kita melihat bahawa mutu perfileman di negara kita telah bercambah dengan baik. Pelakon-pelakon kita juga semakin hebat, mantap dan berbakat. Teknik-teknik yang digunakan terutamanya daripada segi screen play dan animasi adalah canggih dan mengagumkan. Walau bagaimanapun, masih terdapat kelompangan yang perlu diisi untuk mengangkat industri ini ke mercu kejayaan. Banyak filem Melayu telah membuktikan adanya kebolehan dan bakat-bakat yang cukup hebat di depan dan di belakang tirai. Begitu juga industri perfileman Tamil di negara kita juga menunjukkan peningkatan kualiti yang cukup mengagumkan jika dibandingkan dengan filem-filem tempatan yang dihasilkan 20 tahun yang lalu. Kebolehan luar biasa anak-anak muda yang mempunyai bakat terpendam dalam bidang perfileman ini perlu dipupuk dan dibantu oleh kerajaan. Saya percaya, hasil titik peluh anak-anak muda ini mempunyai potensi yang boleh membawa negara kita jauh ke pelosok dunia. Pasaran untuk filem Tamil adalah sangat besar di merata dunia, termasuk di negara India itu sendiri. Industri ini boleh menzahirkan pendapatan yang lumayan bukan sahaja kepada pemain-pemain industri tetapi juga menjadi suntikan kepada pendapatan negara. Negara kita kaya dengan bakat yang berbeza-beza kepelbagaian seni dan budaya, tempat-tempat pelancongan cukup ghairah dan fasiliti-fasiliti perfileman yang canggih membolehkan kita menghasilkan filem-filem bertaraf antarabangsa. Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pemain- pemain industri filem tempatan menjalin hubungan dengan pemain-pemain filem industri dari India untuk menghasilkan lebih banyak filem-filem komersial Tamil bertaraf antarabangsa. Ini bukan sahaja akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan, malah mempromosikan negara dan kekayaan khazanah seni dan budaya serta memulihkan industri pelancongan yang lumpuh akibat pandemik yang kita lalui. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah. Best batik award today untuk Yang Berhormat Batu Gajah. Yang Berhormat Sandakan. Silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi atas peluang bagi saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Belanjawan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Tuan Pengerusi, saya ingin merujuk kepada Butiran 020600 – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia pada muka surat 324. Butiran 040300 – Program Penggalakan Pemasaran Promosi dan Acara-acara Pelancongan, Seni dan Budaya dan Butiran 050100 – Pelan Pemulihan Pelancongan pada muka surat 326. Industri pelancongan telah membawa masuk lebih RM30 bilion kepada ekonomi negara dan menyediakan lebih daripada 3.5 juta pekerjaan untuk rakyat Malaysia sebelum pandemik COVID-19. Namun, ia telah terhenti sepenuhnya sejak Mac 2020 dan ia juga memerlukan kerjasama dan komitmen segera daripada pihak kerajaan untuk membantu industri ini kembali semula kepada langkahnya. Dengan kebimbangan gelombang baharu kes COVID-19 ketika ini, seperti yang dialami di Eropah dan dasar sifar kes oleh China yang begitu ketat, kebimbangan pembukaan semula sempadan antarabangsa tidak akan seawal yang dijangkakan seperti sebelum ini. Jadi, apakah rancangan kementerian dalam mengurangkan kes penutupan berpanjangan sekiranya sempadan antarabangsa masih ditutup dalam tempoh enam bulan hingga lapan bulan yang akan datang? Apakah hasil daripada percubaan Gelembung Perjalanan Antarabangsa atau International Travel Bubble dengan izin semasa ketika ini untuk Pulau Langkawi? Adakah ia juga akan dilaksanakan kepada daerah lain dalam negara khasnya yang mempunyai kes COVID-19 aktif yang rendah? Pilihan pengembara mungkin berubah dalam era pasca COVID-19. Apakah trend atau jangkaan baharu untuk industri pelancongan? Bagaimanakah kementerian bertindak
balas terhadap permintaan dan trend berubah seumpama itu untuk menyediakan sektor industri kita dalam menghadapi cabaran-cabaran ini? Tuan Pengerusi, kebanyakan pengusaha pelancongan terpaksa menutup sementara aktiviti mereka kerana pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan dalam tempoh dua tahun lalu. Dengan pembukaan semula perjalanan antara negeri baru-baru ini, beberapa pengendalian juga telah mula menyambung semula operasi mereka. Walau bagaimanapun, ramai yang menghadapi kesukaran untuk memperbaharui lesen bas beberapa bulan yang lebih awal, lesen bas persiaran mereka pada masa ini kerana ia telah tamat tempoh beberapa bulan yang lebih awal. Bolehkah kementerian membenarkan pengendali ini memperbaharui lesen bas persiaran mereka tanpa menyukarkan lagi keadaan dalam situasi yang sudah sedia sukar ketika ini? Selain itu, saya juga ingin sekali lagi mempromosikan beberapa buah lokasi pelancongan yang popular seperti Pulau Penyu iaitu Pulau Selingan, Pulau Langkaian di Sandakan dan seterusnya di Sandakan. Akan tetapi, kenapa sehingga kini kita belum mempunyai satu jeti pelancongan? Jeti yang digunakan oleh para pengusaha pelancongan adalah jeti di Pasar Umum Sandakan yang digunakan untuk sektor perikanan. Jadi, kini sudah tiba masanya kementerian membina satu jeti pelancongan yang sempurna di Sandakan dengan serta-merta. Ramai pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong juga terpaksa melakukan pekerjaan dalam bidang yang lain dalam tempoh dua tahun yang lalu seperti menjadi pemandu GrabCar, penghantar bungkusan atau bekerja di ladang sayur-sayuran. Bagaimanapun, kebanyakan mereka masih berazam untuk balik ke industri pelancongan semula apabila ia baik pulih kembali dan pelancong juga mengunjungi semula ke kawasan pelancongan dekat kita di Sandakan. Oleh yang demikian, saya ingin menggesa kementerian untuk bersimpati dengan nasib mereka dan mempertimbangkan untuk mengetepikan dengan syarat mengadakan Kursus Pemantapan Perjalanan dan Pelancongan atau Travel and Tours Enhancement Course (TTEC) dengan izin dan pendidikan berkaitan dengan pelancongan berterusan atau Continuous Tourism Related Education (CTRE) dengan izin dari tahun 2020 hingga ke tahun 2022 bagi pembaharuan lesen mereka. Ini juga akan mengurangkan lagi beban kewangan mereka dengan banyak selain membantu mereka terus hidup dan berjuang untuk hari yang lain. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sandakan. Untuk menamatkan perbahasan, kita beri penghormatan kepada Yang Berhormat dan budiman Yang Berhormat Lumut. Silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi atas peluang ini. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumsalam.
Sebagai pembahas terakhir, diharap akan mendapat jawapan yang pertama Yang Berhormat Menteri.
[Ketawa]
Saya kagum dengan kementerian kerana sifat tawaduknya. Ini kerana di dalam buku bajet ini mengenai prestasi outcome, kementerian bersedia untuk meletakkan suatu sasaran yang lebih rendah daripada tahun sebelumnya. Contohnya Travel and Tourism Compatitiveness daripada kedudukan 28 ke-33. UN World Tourism Organization International Tourist Receipts daripada kedudukan 21 ke kedudukan 31, menurun ya. UN World Tourism Organization International Tourist Arrival daripada kedudukan ke-12 turun ke-22. Kita mengakui bahawa kesan daripada COVID-19 ini menjejaskan industri pelancongan dengan teruk tetapi ini terkesan kepada seluruh dunia. By right, semua akan terkesan. Mungkin kerana kita kurang optik, kurang dilihat dunia, maka kedudukan kita ini agak merosot. Ini termasuklah apa yang kita lihat di dalam top 10 highest search
destination. Dahulu kita dalam top 10 di kalangan APAC countries tetapi sekarang sudah terkeluar, hilang entah ke mana. Jadi, saya harapkan tempoh ini kita minta kementerian reset, MOTAC reset balik usaha-usaha dengan mempertingkatkannya supaya tidaklah kita merosot terlalu teruk daripada keadaan sebelumnya. Saya masuk ke dalam perbahasan saya B.31, Butiran 010500 dan dibaca sekali dengan Butiran 020500 – Pembangunan Prasarana dan Pusat Pelancongan Malaysia. Lumut ini adalah destinasi Tuan Pengerusi, destinasi yang Tuan Pengerusi mesti pergi. Kalau tidak pergi, tidak sah jadi orang Malaysia.
Sudah pergi.
Pangkor dengan Lumut. Pusat pelancongan itu ada tetapi tutup. Saya harap ia dibuka segera kerana pelancong sudah masuk dengan ramai termasuk daripada negara-negara jiran.
Kemudian di Pangkor- Pangkor tidak ada satu pusat pelancongan yang boleh dirujuk oleh pelancong-pelancong yang datang daripada merata tempat. Jadi, ini juga memerlukan tindakan segera daripada kementerian supaya di Pangkor ada pusat pelancongan yang terkini, yang mempunyai maklumat yang lengkap. Seterusnya Butiran 040300 – Program Penggalakan Pemasaran, Promosi dan Acara-acara Pelancongan, Seni dan Budaya. Saya ingin mencadangkan kepada kementerian. Kita ada Pulau Pangkor, kita ada Sungai Manjung yang bersih. Kita minta supaya dipromotekan suatu program cruise ataupun pelayaran pelancong ya, di sekitar kawasan ini. Akan tetapi kita kena menyediakan prasarana seperti jeti ataupun destinasi- destinasi yang disokong oleh kementerian seperti restoran makanan laut ataupun lawatan kepada tempat-tempat pemeliharaan ikan dalam sangkar yang banyak di sekitar itu, yang akan menjadi tarikan, bukan cruise yang besarlah ya, ribu-ribu. Akan tetapi, small and a medium cruise yang boleh menarik ramai pelancong ke tempat tersebut dan ini termasuk juga industri ikan bilis yang terbaik di Malaysia, ikan bilis mata biru Tuan Pengerusi di Pangkor dan juga berbagai-bagai destinasi lain. Seterusnya, saya ingin menyentuh Butiran 020200 – Malaysia My Second Home (MM2H). Perkara ini saya maklumkan interest saya, sedang dibincangkan di dalam PAC Tuan Pengerusi. Akan tetapi saya membaca kenyataan mengenai ambil alih oleh KDN daripada MOTAC bahawa peserta MM2H yang sedia ada akan diberi tempoh setahun grace period untuk mengikuti ataupun terpaksa menerima syarat-syarat yang baharu termasuklah gaji di negara– pendapatan mereka, deposit mereka dan sebagainya. Saya rasa ini akan menakutkan peserta-peserta yang sedia ada yang masih mungkin ada empat, lima tahun lagi sebelum tamat visa mereka. Jadi, apakah tidak boleh bagi mana-mana peserta MM2H yang sedia ada di Malaysia ini dikecualikan dan hanya perlu mengikut peraturan baharu apabila tamat tempoh mereka dan jika mereka ingin memperbaharuinya. Terakhirnya, bagi P.31 Butiran 451000 – Ubah Suai dan Naiktaraf Muzium. Sekali lagi, Yang Berhormat Menteri Pangkor ada sebuah muzium yang kecil comel tetapi sudah ada mempunyai isi-isi bahan sejarah yang telah terkumpul tetapi tidak dapat dimanage. Saya tidak pasti siapa yang bertanggungjawab. Saya mohon kepada kementerian untuk mengambil alih muzium kecil ini dan dijadikan juga pusat pelancongan Pangkor. Sekian, diikuti masa dengan tepat Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya sudah ke Lumut dan Pangkor tetapi saya tidak tahu sama ada Yang Berhormat Lumut sudah ke Lembah Bujang ke belum? Dengan itu, tamat perbahasan kita untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Saya ingin menjemput sekarang Yang Berhormat Menteri untuk menjawab. Masa 20 minit Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Keluarga Malaysia. Tuan Pengerusi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian bagi sesi perbahasan Bajet 2022 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada hari ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada seramai 20 orang Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengajukan pertanyaan serta memberi cadangan dan pandangan kepada perkara-perkara di bawah tanggungjawab MOTAC sebentar tadi. Insya-Allah, saya akan beri maklum balas dalam masa yang ditetapkan oleh Tuan Pengerusi. Sekiranya ada yang ditanya, ada pertanyaan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tidak sempat dijawab dalam ruang ini, saya akan dengan izin Tuan Pengerusi, akan memberikan maklum balas tersebut kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang berkenaan secara bertulis. Ada beberapa Ahli Yang Berhormat bertanya soalan mengikut
(i) Yang Berhormat Jerai; (ii) Yang Berhormat Tebrau; (iii) Yang Berhormat Kalabakan; (iv) Yang Berhormat Sibuti; (v) Yang Berhormat Petaling Jaya; (vi) Yang Berhormat Jerlun; – Happy birthday Yang Berhormat Jerlun ya; (vii) Yang Berhormat Kota Melaka; dan (viii) Yang Berhormat Sandakan. Telah menyentuh mengenai perkara yang sama iaitu Pelan Pemulihan Pelancongan. Jadi, saya mulakan dengan Yang Berhormat Jerai dahulu. Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Jerai telah menyentuh Maksud B.31, butiran mengenai Pelan Pemulihan Pelancongan. Inap desa ataupun lebih dikenali sebagai homestay merupakan salah satu daripada produk pelancongan desa yang terdapat di Malaysia yang turut mendapat perhatian pelancong antarabangsa. Jadi, sejak kebelakangan ini segmen pelancongan tersebut menjadi amat berpotensi dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi terutamanya bagi masyarakat luar bandar, terutama sekali masa COVID-19 ini Tuan Pengerusi kerana ramai orang pergi melancong dalam negara. Oleh sebab itu, banyak isu dibangkitkan lebih kepada domestik tourism dengan izin. Kementerian ini telah mewujudkan insentif-insentif bagi membantu penggiat industri pelancongan yang akan memulakan semula perniagaan mereka pasca pandemik COVID-19. Insentif yang ditawarkan tersebut adalah Skim Infrastruktur Pelancongan (SIP) di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Tabung Khas Pelancongan (TKP) yang ditawarkan oleh SME Bank dan perniagaan pelancongan, PENJANA serta insentif galakan cukai. Seterusnya, kementerian juga memberikan bantuan kepada untuk menaik taraf kemudahan guna sama infrastruktur asas di perkampungan homestay yang berdaftar untuk keselesaan dan kepuasan para pelancong yang menginap di homestay dengan kerjasama agensi kerajaan di bawah kerajaan negeri serta di peringkat Persekutuan. Kita bekerjasama dengan agensi-agensi di kerajaan negeri juga Tuan Pengerusi. Seterusnya, mengenai tulisan jawi daripada Yang Berhormat Jerai juga. Terima kasih kepada Yang Berhormat Jerai yang membangkitkan berkaitan tulisan jawi di bawah Butiran 040500. Sebagai mana Yang Berhormat sedia maklum bahawa tulisan jawi telah
diwartakan sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada 12 November 2009. Bagi memastikan ia sentiasa dipelihara dan dilindungi dengan sewajarnya sebagai khazanah warisan negara, selain beberapa dokumen seperti Yang Berhormat nyatakan tadi telah mendapat pengiktirafan UNESCO di bawah kategori Memory of the World (MoW) dengan izin ya. Sememangnya Jabatan Warisan Negara sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha pengembangan dan pelestarian tulisan jawi di bawah Butiran 040500 pada tahun 2022. Jabatan Warisan Negara telah memohon sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan Program Pengembangan Tulisan Jawi iaitu di bawah Kempen Kenali, Sayangi dan Lestarikan Warisan Kita. MOTAC menyambut baik cadangan Yang Berhormat Jerai agar lebih banyak usaha-usaha berkaitan tulisan jawi diberi perhatian seperti tanda jalan dan billboard. Namun, perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak-pihak berkuasa yang terlibat termasuklah pihak berkuasa tempatan dan kementerian ataupun jabatan terlibat sememangnya ada peraturan-peraturan berkaitan perkara ini. Seterusnya Butiran 040000 lagi, mengenai tulisan jawi ini. Pihak kementerian menerbitkan risalah dan menggunakan aplikasi digital dalam memperkasakan penggunaan bahasa Jawi. Namun, penggunaan papan tanda di kawasan pelancong adalah pada umumnya di bawah PBT dan beberapa pihak PBT telah pun mengenalkan papan tanda jawi. Jadi, Tuan Pengerusi, tadi saya banyak mendengar ada yang mengatakan telah menghantar kepada kita permohonan mereka tetapi tidak ada respons daripada kita terutama sekali apabila mereka berbahas dalam Dewan ini memohon banyak perkara yang mereka sebutkan mengenai pelancongan. Sebenarnya, kebanyakannya disentuh terutama sekali Yang Berhormat Tumpat, tadi telah menyentuh mengenai beberapa perkara Yang Berhormat Tumpat. Ianya bukan di bawah Kementerian Pelancongan. Saya teruskan lagi dengan apa yang telah dipohon oleh Yang Berhormat Jerai di sini. Di Jerai terdapat beberapa buah perpustakaan desa yang berfungsi sebagai pemangkin pengetahuan di antara hidup masyarakat luar bandar. Terdapat lima buah perpustakaan desa iaitu: (i) Kampung Sungai Limau, dalam mukim Sungai Daun, Yan Kedah; (ii) Kampung Sungai Udang di Dewan Kampung Kedah Sungai Udang, Yan Kedah; (iii) Kampung Pauh, Dewan Orang Ramai, Yan Kedah; (iv) Kampung Teroi Bukit, di alamat Dewan Orang Ramai, Kampung Teroi, Bukit Guar Cempedak, Kedah Darul Aman; (v) Kampung Berjaya Jeniang, Gurun.
Kriteria pemilihannya yang ditanya tadi adalah seperti berikut: (i) tapak perlu digazetkan untuk kegunaan perpustakaan; (ii) terletak di kawasan bebas bencana seperti banjir, tanah runtuh dan tapak pelupusan sampah; (iii) lokasi perpustakaan desa tidak terpencil dan mudah dikunjungi oleh orang ramai; (iv) jarak melebihi lima kilometer dari perpustakaan sedia ada; dan (v) tapak atau bangunan perlu mempunyai keluasan melebihi 1,000 kps.
Tiada peruntukan khas disediakan untuk menaik taraf perpustakaan desa dan peruntukan tambahan untuk menambah bilangan komputer dan internet di setiap perpustakaan desa. Walau bagaimanapun pada tahun 2021, Perpustakaan Negara Malaysia telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.48 juta bagi tujuan langganan internet bagi menyokong cara baru pembelajaran yang dilaksanakan akibat pandemik COVID-19. Penyediaan peruntukan ini adalah bagi menyediakan kemudahan WiFi di semua 507 buah perpustakaan desa seluruh negara. Kita akan meneruskan lagi langganan internet ini bagi tahun 2022 agar masyarakat dapat mengakses maklumat digital yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Saya terus kepada satu lagi isu ini ialah dari Yang Berhormat Kota Kinabalu, MM2H. Sejak Oktober tahun 2021, MM2H adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Walau bagaimanapun, MOTAC akan melakukan promosi. Kita akan teruskan tanggungjawab kita untuk mempromosikan MM2H melalui pejabat-pejabat Tourism Malaysia di luar negeri bagi memastikan program ini terus dilaksanakan dengan jayanya. Yang Berhormat Kota Kinabalu juga bertanya mengenai peruntukan. Peruntukan akan diselaraskan antara MOTAC dan KDN selepas pemindahan fungsi MM2H ini dan juga termasuk perjawatan selesai. Ini kerana MM2H telah pun dipindahkan ke KDN seperti yang telah saya maklumkan tadi. Saya teruskan lagi, ada soalan tadi mengenai MyCEB. Saya rasa ada dua, Yang Berhormat Balik Pulau dan Yang Berhormat Kalabakan bertanya mengenai MyCEB ini. Untuk makluman Tuan Pengerusi... [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan
Pertukaran.
Saya juga telah menerima banyak pertanyaan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat yang juga para penggiat industri MICE ini. Saya juga telah meminta agar Ketua Setiausaha kami dari MOTAC untuk berunding dengan MOF supaya mengkaji semula perkara ini. Suntikan dana MOF adalah sangat diperlukan. Tadi kita menyatakan kosongkan. Jadi, dalam konteks ini saya bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat agar MICE, Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) ini diberikan peruntukan belanja mengurus yang mencukupi untuk tujuan pengoperasian. Selain itu juga, MyCEB perlu diberi peruntukan belanja pembangunan untuk terus melaksana dan menjalankan aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran serta proses pembidaan untuk membawa masuk acara-acara perniagaan atau lebih dikenali sebagai MICE. Kita telah maklumkan di sini tadi, ada Yang Berhormat Balik Pulau menyentuh mengenai RM165 juta yang kita bida untuk tahun 2021 hingga 2030 dan kita menang bida tersebut. Jadi maka dengan itu, kita memang memerlukan peruntukan ya. Ini bagi memastikan industri MICE ini terus berkembang seiring dengan strategi kerajaan di bawah RMKe-12, Dasar Pelancongan Negara 2020–2030 dan Business Events Strategic Marketing Plan 2021 – 2030, dengan izin yang telah dirancang bagi memulihkan, merancakkan dan menjamin kelestarian industri pelancongan dan sosioekonomi negara. Tadi juga disentuh mengenai gaji CEO ya, oleh Yang Berhormat Balik Pulau. Saya juga telah dimaklumkan bahawa peruntukan yang diberi kepada MyCEB adalah— saya minta maaf ya, terlalu banyak di sini. Saya terus kepada— berkaitan dengan gaji CEO MyCEB. Ia berdasarkan kepada amaun yang diluluskan oleh kerajaan. Ini selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh JPA untuk pegawai yang dipinjamkan ke company limited by guarantee, milik kerajaan dengan izin.
Mohon penjelasan.
Seterusnya lagi Yang Berhormat Balik Pulau.
Mohon penjelasan Yang Berhormat Menteri, tentang RM105 juta simpanan tetap dalam MyCEB itu.
Ini Yang Berhormat Balik Pulau kah?
Ya, ya.
Yang Berhormat Balik Pulau boleh bagi saya jawab dahulu? Oleh sebab saya takut nanti tidak cukup masa. Kalau sudah cukup masa, saya jawab. Kalau tidak, saya bagi jawab secara bertulis ya sebab banyak lagi yang ada di sini perlu dijawab. Tadi Yang Berhormat Balik Pulau juga menyentuh mengenai Dasar Pelancongan Negara. Butiran 030100 – Dasar dan Perancangan Strategik dan juga mengenai Zon Pelaburan Khas Pelancongan iaitu Special Tourism Investment Zone, dengan izin. Jadi kerajaan bercadang untuk mewujudkan Zon Pelaburan Khas Pelancongan atau Special Tourism Investment Zone (STIZ) bertujuan untuk meningkatkan kerjasama awam swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa khususnya dalam bidang teknologi, digital, sektor pelancongan. Bagi tujuan ini, sebuah jawatankuasa kecil pelaburan pelancongan telah diwujudkan di bawah DPN bertujuan untuk mengenal pasti zon-zon pelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan menerusi kerjasama bersama kementerian ataupun agensi berkaitan seperti MITI, MIDA serta pihak berkuasa pelaksanaan koridor di seluruh negara. Buat masa ini, MIDA dalam proses membuat stock taking ke atas zon-zon sedia ada atau dalam perancangan melalui ekonomi koridor seperti ECER, NCER, Iskandar Malaysia, Sabah Development Corridor dan Sarawak Corridor of Renewable Energy serta MTEC Sarawak dan KePKAS Sabah. Untuk makluman juga, ingin saya tambahkan ini secara tidak rasmi. Kami telah berbincang supaya kita pada tahun hadapan terutama sekali kepada Yang Berhormat Balik Pulau yang telah bertanya. Insya-Allah, kita akan menganjurkan. Tadi ada juga yang minta supaya kita mengadakan engagement, dengan izin dengan industry players. Akan tetapi kita bukan sahaja hendak mengadakan engagement dengan industry players, malah investors juga dan juga stakeholders dari kerajaan negeri. Supaya kita dapat berbincang dan merancang mengenai Special Tourism Investment Zone ini, supaya kita dapat mengadakan cara the way forward yang baharu Yang Berhormat. Terima kasih.
Baik.
Seterusnya iaitu bantuan geran-geran yang disediakan bagi industri pelancongan. Ini juga dari Yang Berhormat Balik Pulau. Di antara inisiatif dan bantuan yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ialah Geran Sepadan Pelancongan, Seni dan Budaya. Saya rasa Yang Berhormat tahu ini iaitu GSPSB di mana merupakan satu bentuk insentif yang mengguna pakai konsep matching grant, dengan izin untuk membantu penganjur-penganjur acara atau program yang menganjur acara atau program mereka di Malaysia. Selain itu, pemberian Dana Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) ya dengan izin, untuk kempen promosi dan pemasaran sektor pelancongan dalam dan luar negara bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia. Sekali gus, merancakkan kembali sektor pelancongan domestik. Cadangan kepada MOTAC untuk mengadakan libat urus bersama industri, itu sudah kita lakukan tetapi kita akan perhebatkan lagi pada tahun hadapan. Untuk menjimatkan masa, saya campurlah soalan tadi dari Yang Berhormat Balik Pulau dengan Yang Berhormat Kalabakan yang menanyakan soalan bersama. Ada juga seterusnya dari Yang Berhormat Pasir Salak. Yang Berhormat Pasir Salak bertanya mengenai...
Yang Berhormat Pasir Salak tidak ada dalam Dewan, mungkin boleh beri jawapan bertulis.
Sorry?
Yang Berhormat Pasir Salak tidak ada dalam Dewan.
Oh! Dia tidak ada dalam Dewan? Okey, kita bagi jawapan bertulis.
Elok bertulis.
Segambut. Jawapan Segambut boleh?
Yang Berhormat Segambut ada. Jawapannya ada di sini. Saya mengikut apa yang telah disusun di sini, Yang Berhormat Tebrau dahulu ya. Yang Berhormat Tebrau?
Yang Berhormat Tebrau ada?
Yang Berhormat Tebrau ada?
Ada, ada.
Okey. Yang Berhormat Tebrau tadi mengenai Butiran 040300 – Program Penggalakan Pemasaran, Promosi dan Acara-acara Pelancongan, Seni dan Budaya dan juga Kebudayaan dan Kesenian Promosi Produk Seni ya.
Pertama, daripada segi Program Pelancongan Budaya iaitu Culture Based Tourism.JKKM meneruskan pelaksanaan program pelancongan budaya yang merupakan program yang berbentuk penyemarakan seni budaya secara maya bagi tahun 2021 dan menjadi salah satu bentuk promosi pelancongan melalui aktiviti seni budaya. Antara pengisian program yang dilaksanakan dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak serta NGO seni budaya ini adalah seperti demonstrasi, pameran, jualan, bengkel, latihan, master class, pertandingan, percukilan bakat, aktiviti kesenian, kebudayaan dan sukan rakyat. Program yang disiarkan melalui platform JKKM TV, Facebook dan CloudTheatre dengan izin. Seterusnya iaitu pemetaan budaya. Pemetaan budaya iaitu sebuah pangkalan data seni budaya, warisan dan pelancongan yang komprehensif serta diperluaskan untuk kegunaan masyarakat, khususnya generasi muda dan pelancong. Pemetaan budaya merupakan mega data seni budaya, warisan merangkumi tarian muzik, teater, tradisional, adat resam, makanan tradisional, busana tradisional, permainan tradisional, prasarana, seni persembahan dan directory NGO. Pada tahun 2021 JKKM dalam usaha menambah tiga lagi iaitu penyelidikan, perantisan dan bimbingan seni budaya. Untuk makluman Yang Berhormat Tebrau, saya akan buat dan teliti detail jawapan untuk semua ini sebab panjang juga jawapannya Yang Berhormat Tebrau...
Okey, terima kasih. Boleh bagi jawapan bertulislah.
Boleh, boleh.
Okey.
Sebenarnya banyak untuk Yang Berhormat Tebrau. Mengenai peranan dan tanggungjawab muzium. Jabatan Muzium Malaysia sentiasa konsisten dalam menjalankan teras utama atau core business kita melalui penyelidikan, pengumpulan dan pengurusan koleksi, pameran, konservasi dan juga penyebaran ilmu pengetahuan merangkumi semua etnik di Malaysia. Sebagai contoh JMM telah berjaya mendigitalasikan (digitalize) dengan izin inventory melalui sistem muziu, MuseScore atau – I will put in writing properly for you dengan izin lebih 30,000 koleksi. Selain itu, pada tahun 2021, Jabatan Muzium Malaysia menerbitkan 23 terbitan merangkumi bidang sejarah, budaya dan alam semula termasuk dalam Federal Museum Journal, JMM telah mengadakan 132 program pada tahun 2021 dan merancang 137 program di tahun 2022. Boleh bagi saya tambah lagi masa?
Berapa minit? Lima minit?
Lima minit– tetapi banyaklah.
Yang lain tidak ada, kita boleh buat bertulis.
Yang lain saya bagi jawapan bertulislah ya.
Baik, saya bagi lima minit lagi. Lepas itu jawapan bertulis.
Okey tadi– saya carilah Yang Berhormat Segambut punya– Tak tahu mana lagi, banyak dia Yang Berhormat Segambut. Banyak ada di sini. Okey, sorry I have to be very selective dengan izin. Yang Berhormat Segambut tadi bertanya mengenai hotel, kehilangan pekerja dan mengadakan to work together with Kementerian Dalam Negeri dan juga KSM untuk mengatasi masalah Sumber Manusia. Dengan izin, saya campur dalam bahasa Inggeris...
Lima minit. Baik.
We have written answer for you. But anyway personally saya nak nyatakan di sini Yang Berhormat Segambut, saya sendiri memanggil beberapa hoteliers untuk bertanya mengenai masalah yang mereka hadapi dan saya telah kemukakan perkara ini kepada Kabinet. Saya disarankan– kami MOTAC disarankan untuk menganjurkan Program Tourism Job Fair. Jadi, itu adalah salah satu daripada saranan untuk kami membantu untuk mengatasi masalah ini. Ini telah kita bincangkan di dalam Kabinet. Perkara-perkara lain di sini Yang Berhormat mengenai pegawai di luar negeri iaitu mengenai mereka di sini kita– mereka masih kekal di luar negeri. Cuma, di sini kita ada– untuk makluman Yang Berhormat, pihak kementerian tidak mengisi jawatan Timbalan Pengarah di luar negeri sebagai langkah penjimatan kos operasi di Tourism Malaysia. Hampir semua pejabat Tourism Malaysia dikendalikan oleh seorang pegawai home-based sahaja untuk memastikan imej negara kekal dan aktiviti-aktiviti dikekalkan untuk promosi. Kita teruskan bagi menunjukkan komitmen jangka panjang MOTAC kepada rakan-rakan industri di luar negara bagi pembangunan industri pelancongan negara. Yang lain...
Yang Berhormat Menteri, boleh saya tanya tetapi bajet belanjawan RM152 juta untuk golongan ini agak tinggikan? Kalau home-based dan tidak ada penurunan.
Yang Berhormat, kalau Yang Berhormat hendak tahu terperinci apa yang dalam bajet itu, nanti kita bagi, okey?
Yang Berhormat Menteri, satu lagi mengenai job fair tadi Yang Berhormat Menteri. Kalau job fair saya rasa pekerja tidak akan balik. Ini kerana, kalau tidak ada insentif untuk bantu mereka, mereka tahu kalau lockdown sekali lagi, mereka akan hilang kerja sekali lagi. Jadi, this sector perlukan banyak bantuan kewangan daripada kerajaan.
Memang pun kita Yang Berhormat, sebagai Ahli Yang Berhormat, kita rasanya semua faham kami di MOTAC, kami tidak ada peruntukan kewangan melainkan dengan kelulusan dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Kami memang sentiasa memohon untuk mereka. Jadi, daripada segi peruntukan untuk mereka yang terkesan ini, melalui hotel kita akan ada wage subsidy itu melalui Ministry of Human Recourse dengan izin. Manakala, yang lain itu yang one-off, selalu mereka yang di bawah B40 atau mereka yang tidak ada pekerjaan, memang kita ada bantuan untuk mereka. Akan tetapi, ini tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Kita sentiasa memohon kalau sekiranya berlaku lagi perkara itu tetapi kita doalah ia tidak akan berlaku Yang Berhormat. Biarlah kita berdoa agar sektor pelancongan ini dapat terus. Kita tidak mahu another lockdown Yang Berhormat. Sama-sama kita berdoa. Jadi, saya tahu Tuan Pengerusi asyik melihat ke sini...
Yang Berhormat Menteri.
Saya melebihi waktu yang dibenarkan. Jadi...
Yang Berhormat Menteri, kalau boleh menjawab soalan daripada Jerlun, saya akan anggap itu sebagai hadiah hari jadi saya terima kasih. [Ketawa]
Jerlun.
Hadiah untuk Jerlun. Saya hendak cari dulu Yang Berhormat Jerlun, banyak. What was your question tadi dengan izin Yang Berhormat Jerlun...
Sekali dengan Merbok.
Lembah Bujang sebenarnya.
Lembah Bujang. Memang kita ada masuk. Cuma, tadi Yang Berhormat Merbok ada sebut sebenarnya peruntukan untuk Lembah Bujang itu nanti– Kita pun memohon untuk makluman Yang Berhormat Jerlun dan Yang Berhormat Merbok. Jangan kata Lembah Bujang, Batang Sadong pun tidak ada peruntukan. Ini Yang Berhormat Menteri sendiri tidak diberi. Jadi, kita akan bincangkan lanjut. Akan tetapi, ada dimasukkan dalam peruntukan bajet ini mengenai Lembah Bujang. Mungkin ia ada untuk kegunaan tertentu sahaja. Tidaklah mencukupi sepertimana yang diminta oleh Yang Berhormat Jerlun. Bukan Jerlun sahaja, kami pun nak, sebab kita hendakkan projek yang kita rancang untuk Lembah Bujang ini menjadi kenyataan Yang Berhormat. Kita hendakkan galeri, sebab banyak kita hendak melakukan di Lembah Bujang. Your wishes are also our wish. So, biarlah kita sama-sama terus memperjuangkan untuk Lembah Bujang ini Yang Berhormat. You keep asking and we will also keep asking dengan izin kerana bagi kita, ini memang masih tidak mencukupi. Jadi, maaf kalau tidak dapat menjawab untuk semua. Terlalu banyak di sini. Insya-Allah kita akan beri jawapan bertulis. Tadi ada juga meminta detail projek yang bawah yang telah diluluskan. Kota Melaka saya rasakan tadi. Mohon nanti Yang Berhormat Kota Melaka, kita akan bagi jawapan bertulis. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya ialah bahawa wang sejumlah RM1,009,695,500 untuk Kepala B.31 Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2022 jadi sebahagian daripada Jadual hendaklah disetujukan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala B.31 diperintahkan jadi sebahagian daripada Jadual]
Masalahnya ialah bahawa perbelanjaan di bawah Kepala P.31 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 hendaklah diluluskan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala P.31 diluluskan sebahagian daripada Anggaran Perbelanjaan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 Bacaan Kali Yang Kedua DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 Jawatankuasa — Kepala B.25 [Jadual] - Kepala P.25 [Anggaran Pembangunan 2022] -Bill
Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Pengguna terbuka untuk dibahas. Yang Berhormat, saya ada menerima seramai 19 Ahli-ahli Yang Berhormat untuk berbahas. Saya sebutkan senarainya.
Yang Berhormat Jempol, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, Yang Berhormat Sibuti, Yang Berhormat Bukit Bendera, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Hulu Langat, Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Muar, Yang Berhormat Terbrau, Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Rasah, Yang Berhormat Bachok, Yang Berhormat Permatang Pauh, Yang Berhormat Dungun, Yang Berhormat Bayan Baru, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Selayang dan Yang Berhormat Hang Tuah Jaya. Saya memulakan dengan menjemput Yang Berhormat Jempol. 5 minit dari sekarang.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi, mengizinkan saya untuk mengambil bahagian pada hari ini bagi membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negara dah Hal Ehwal Pengguna. Butiran 00211 – Kawalan Barang dan Subsidi, bersama Butiran 040400 – Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS). Kebelakangan ini terdapat banyak aduan dan keluhan rakyat berkenaan kenaikan mendadak harga minyak masak di kebanyakan pasar raya di seluruh negara. Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh kementerian dengan menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak sawit botol bermula 1 Ogos. Walau bagaimanapun, harga siling yang telah ditetapkan masih jauh daripada kemampuan rakyat iaitu RM29.70 lima kilogram, RM18.70 tiga kilogram, RM12.70 dua kilogram dan RM6.70 satu kilogram. Mengambil kira pendapatan garis kemiskinan negara, keadaan ekonomi negara, keadaan ekonomi rakyat semasa, perintah gaji minimum dan sebagainya, adakah penetapan harga siling tersebut selari dengan kemampuan dan kuasa membeli rakyat pada masa ini? Adakah mekanisme yang digunakan oleh kementerian bagi menentukan harga siling tersebut? Pelaksanaan Program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah CPO semata-mata, tidak menyebelahi rakyat. Justeru itu, saya cadangkan agar perkara ini diteliti semula dan dibuat kajian dengan kadar segera agar harga maksimum tersebut diturunkan lagi. Berkaitan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak. Adakah wajar ia dikekalkan dengan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi tahun 2022? Adakah peruntukan ini sudah mengambil kira harga tan CPO di peringkat global yang telah melambung naik? Saya difahamkan sebelum ini kementerian meletakkan harga ambang subsidi kepada RM2,500 bagi satu metrik tan CPO. Sedangkan pada hari ini, harga bagi satu tan metrik CPO telah naik melipat ganda iaitu melebihi RM5,000. Saya berharap kementerian menyemak semula perkara ini bagi mengelakkan isu harga minyak masak terus berbangkit pada tahun 2022 dan akan menyusahkan rakyat. Seterusnya, berkaitan dengan aduan tentang kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran akibat kenaikan harga minyak botol. Minyak masak paket ini sudah tentulah akan menjadi buruan oleh pengguna, bukan sahaja isi rumah seperti peniaga, peniaga makan, kedai makan, restoran dan pasar malam. Jika kementerian mempunyai kekangan untuk memantau perkara ini, saya harap peruntukan ini perlu ditingkatkan. Kita tidak boleh menyalahkan peniaga semata-mata kerana pada masa ini semua pihak sedang berada dalam kesusahan. Bila kuota minyak masak ini dapat diturunkan di setiap negeri, apa yang saya difahamkan tiga buah negeri sudah pun mendapat kuota minyak masak iaitu dua dari Sarawak, satu di Terengganu dan satu di Sabah. Kementerian pada hari ini tidak boleh menumpukan kawasan tertentu, malah ia perlu merangkumi semua negeri, mahu Sabah dan juga Sarawak. Butiran 020400 – Penguatkuasaan. Penguatkuasaan ialah tunjang utama kementerian. Tanpa penguat kuasa yang efektif, segala bidang kuasa di bawah kementerian akan terlihat lebih lemah. Peruntukan bagi penguat kuasa pada tahun 2022 dikurangkan kepada RM35 juta berbanding dengan sebelum ini RM39 juta.
Soalan saya, mengapakah peruntukan ini dikurangkan sebanyak RM4 juta? Pada hemah saya, peruntukan ini seharusnya ditingkatkan supaya dapat melakukan pemantauan secara menyeluruh sama ada di premis perniagaan ataupun dalam talian. Saya difahamkan masih ramai peniaga menerusi platform media sosial tidak mematuhi undang-undang sedia ada iaitu mempamerkan harga barang. Ramai dalam kalangan pembeli atau pun pengguna juga turut dilaporkan telah menjadi mangsa penipuan dalam urusan jual beli dalam talian. Ini merupakan perkara yang serius yang perlu diberi keutamaan oleh kementerian dan hendaklah ditangani dengan kadar segera. Justeru itu, saya ingin mengetahui berapakah bilangan kakitangan penguat kuasa yang ada setakat hari ini bagi tujuan pemantauan? Bagaimanakah keadaan pemantauan yang dilakukan untuk mengawasi peniaga dalam talian? Di kesempatan ini juga saya ingin menggesa kepada kementerian supaya proaktif untuk melakukan pemantauan aktiviti perniagaan menerusi platform media sosial. Jadi, kerana masa tidak mencukupi, saya pohon supaya apa yang saya bangkitkan tadi, isu minyak masak dan isu pemantauan dalam media sosial iaitu dalam talian, dapat diambil tindakan oleh Menteri ataupun Timbalan Menteri. Sekian, Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Pengerusi, terima kasih. Berbahas peringkat Jawatankuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna. Saya mulakan dengan mengulangi rakan saya dari Jempol, Butiran 040400 - Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS). Saya ingin mencadangkan supaya kementerian menjalankan polisi harga dua peringkat. Negara menghasilkan lebih 20 juta tan metrik minyak sawit CPO. Hanya 1 juta tan digunakan untuk penggunaan dalam negeri, termasuk minyak masak. Jadi, ketika harga minyak sawit mentah meningkat, tentulah kos menghasilkan minyak masak juga meningkat. Ini sebab bahan utamanya ialah RBD Olein daripada minyak sawit. Jadi, RBD Olein tidak akan kurang kalau harga CPO tinggi. Jadi, saya cadangkan supaya untuk tujuan eksport, harga minyak sawit ikut harga pasaran. Akan tetapi untuk tujuan membuat minyak masak, harga CPO, khususnya RBD, mestilah kerajaan kurangkan. Dengan cara itu, kos minyak masak tanpa subsidi akan dapat dikurangkan. Ketika yang sama, saya cadangkan kerajaan terus mengekalkan 60,000 metrik tan minyak sawit bersubsidi. Cuma kena kawal ketirisan. Ancaman sekarang adalah harga minyak masak sudah guna (used cooking oil), harganya sekarang RM4 lebih. Harga minyak masak subsidi, harganya RM2.50. Repackers lebih tertarik untuk menjual dalam bentuk used cooking oil kerana demand tinggi, sebab ini boleh eksport dan buat biodiesel. Jadi, ini ancaman kepada kementerian dari sudut meningkatkan penguatkuasaan. Dua perkara, harga dua tingkat dan juga kekalkan 60,000 metrik tan. Walaupun itu membebankan kewangan kerajaan. Oleh sebab saya difahamkan, subsidi minyak masak ini sahaja sudah mencecah hampir RM1 bilion untuk tahun ini sahaja. RM400 juta tahun depan ini sudah tentu tidak cukup. Boleh tahan dua, tiga bulan sahaja. Selepas itu, kementerian terpaksa bergelut untuk mendapatkan tambahan bajet. Kedua ialah Butiran 020300 – Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan. Tuan Pengerusi, harga ayam, harga telur, harga sayur dan sebagainya sekarang ini naik mencanak-canak. Itu sangat membebankan rakyat. Harga ayam khususnya, alasan yang digunakan adalah subsidi kos makanan yang meningkat. Itu perkara yang memang di luar kawalan kerajaan kerana kita terpaksa beli dari luar, import. Saya cadangkan supaya cukai keuntungan daripada minyak sawit, Menteri Kewangan bagi tahu, tahun ini sahaja setakat November, keuntungan lebih RM500 juta.
Kita hanya boleh mengurangkan dengan cara memberikan subsidi bagi kos makanan bagi penternak ayam. Saya cadangkan kementerian untuk memohon agar Kementerian Kewangan menimbangkan perkara ini. Jika kos subsidi makanan ternak ini dapat dikurangkan dengan menggunakan hasil kerajaan daripada keuntungan windfall tax, itu merupakan satu jalan keluar yang dapat kita lakukan dengan segera, walaupun ianya tidak berkesan dalam jangka masa panjang tetapi untuk sementara ini, itu adalah jalan keluar yang terbaik. Perkara yang ketiga, Butiran 13006 – Perbadanan Harta Intelek. Tuan Pengerusi, penyelidikan mesti berakhir dengan paten. Paten. sahaja tidak cukup, ianya mesti dikomersialkan. Tuan Pengerusi ada tiga kekangan bila hendak komersialkan hasil penyelidikan. Saya mohon Timbalan Menteri nanti merujuk. Selalunya hasil penyelidikan ini dia akan buat, startup company. Seorang penyelidik universiti, dia akan ada usaha sama dengan syarikat yang membiayai. Ada tiga kekangan yang pertama, seksyen 168, Akta 574 Kanun Keseksaan menyebut tentang larangan penjawat awam terlibat dalam aktiviti perniagaan. Pensyarah universiti dan penyelidik adalah penjawat awam. Kalau ada seksyen ini, macam mana mereka hendak terlibat dengan aktiviti perniagaan. Ini halangan yang pertama. Benar, dia ada kelonggaran iaitu kebenaran Naib Canselor mestilah diperolehi. Tetapi kekangan ini menimbulkan perkara yang berkaitan dengan pegangan ekuiti oleh penyelidik dalam syarikat startup company yang dianggap sebagai aktiviti perniagaan. Perkara kedua, Peraturan 4, Akta 605 Badan Berkanun yang membenarkan penglibatan dalam kerja luar bagi kakitangan badan berkanun. Universiti ialah sebuah badan berkanun dengan syarat mendapat izin Naib Canselor. Persoalannya, adakah pegangan ekuiti dan kedudukan sebagai non- executive director dalam syarikat startup dianggap sebagai kerja luar. Bagaimana pula dengan aktiviti pemindahan teknologi yang dilakukan kepada syarikat pelesen teknologi kerana pemindahan teknologi kepada pihak industri adalah sebahagian daripada tugasan penyelidik apabila perjanjian pelesenan ditandatangani. Kes spesifik di sini adalah Universiti Putra Malaysia dengan syarikat yang merujuk kepada satu startup company yang sedang berdepan dengan masalah.
Minta rumuskan Yang Berhormat.
Yang ketiga Tuan Pengerusi. Penasihat undang-undang juga menimbulkan bahawa pegangan ekuiti oleh penyelidik dalam syarikat startup yang melesen teknologi universiti boleh mendedahkan mereka kepada kesalahan di bawah seksyen 23(1) Akta SPRM 2009. Tiga kekangan ini adalah merupakan penghalang terbesar untuk mendorong penyelidik universiti yang mengerah seluruh potensi pemikiran mereka bagi menghasilkan satu result penyelidikan dipaten dan bila hendak dikomersialkan, ada tiga peruntukan undang-undang yang menghalang. Adalah menjadi kewajipan pihak kementerian ini, mungkin usaha sama dengan kementerian yang lain tetapi ini ada kaitan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Tuan Pengerusi, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Seterusnya Yang Berhormat Sibuti tidak ada dalam Dewan. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Bukit Bendera.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya turut ingin menyertai perbahasan peringkat jawatankuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Butiran 020300 – Hal Ehwal Kos Sara Hidup. Semalam saya telah menyebut bahawa kenaikan harga sayur-sayuran mencecah 200 peratus, harga ayam naik dan petang tadi Timbalan Menteri Pertanian gagal memberikan apa-apa
maklum balas. Ini sangat mendukacitakan. Isu Nasional yang begitu besar dan gagal memberikan jawapan. Saya telah menerima maklum balas dan rungutan bahawa harga roti sebuku 400 gram bakal naik effective 1 Disember dari RM2.50 naik 30 sen, jumlah RM2.80. Harga roti pula naik. Sayur-sayuran naik, harga ayam naik, telur naik, harga roti juga naik dan saya minta Menteri jangan elak jawapan seperti Timbalan Menteri Pertanian tadi. Terus terang sama ada satu inflasi yang mendadak akan bakal datang, consumer price index akan naik mendadak. Itu kah caranya kerajaan Perdana Menteri yang baharu menyambut 100 hari pentadbiran dia. Dengan semua harga-harga makanan asas naik dan kegagalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengawal kos-kos bahan utama. Butiran 040400 – Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS). Mengikut harga yang saya semak tadi Malaysia Palm Oil Board RM5303.50 metrik ton pada pagi ini dan harga crude palm oil (CPO). Peningkatan harga minyak sawit mentah CPO price secara global telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan dalam Skim Penstabilan Harga Minyak Masak dan kita hanya masih mengekalkan RM400 juta peruntukan untuk Bajet 2022. Saya meragui sama ada kita masih lagi boleh menjalankan program ini dengan kenaikan harga CPO yang berterusan. Saya menerima banyak rungutan dari orang ramai dan juga peniaga-peniaga bahawa mereka gagal dan tidak dapat membeli minyak masak bersubsidi tersebut. Ini bukan sahaja di Pulau Pinang tapi di merata tempat. Minyak masak polibeg dengan berat satu kilogram berharga RM2.50 susah untuk mendapat bekalan minyak masak bersubsidi. Sepatutnya COSS ini dengan tax, dengan jangkaan Cukai Makmur yang dikenakan, dengan kenaikan levi daripada 1.5 peratus kepada 3.0 peratus untuk Cukai Levi Profit Keuntungan untuk Sabah dan Sarawak, sepatutnya kita boleh mendatangkan income yang lebih banyak. Kenapa kita gagal pula menaikkan harga ataupun menaikkan peruntukan untuk Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) ini supaya lebih ramai supaya bekalan itu berterusan dan juga menjamin bekalan tersebut. Khasnya aduan tidak mendapat bekalan minyak masak bersubsidi menjelang perayaan. Saya juga ingin membangkitkan isu tentang Butiran 040500 – Program Pengedaran Barang Perlu, LPG (Tong Gas Petroleum Cecair). Saya banyak membaca laporan dan menerima aduan terdapat ketirisan yang berterusan tentang program ini seperti penyeludupan tong gas di sempadan. Ketirisan tersebut berlanjutan sehingga pada asalnya ingin membantu isi rumah tetapi telah digunakan di commercial-commercial outlet, kedai dobi, restoran-restoran dan sebagainya. Sama ada satu program rasionalisasi akan dijalankan terhadap LPG bersubsidi ini. Tuan Pengerusi, saya juga ingin bangkitkan satu perkataan akhir, Butiran 13006 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Pagi tadi, Menteri Perdagangan Antarabangsa menyatakan bahawa akan meratifikasi terhadap RCEP dan perlu pindaan tiga undang-undang domestik Harta Intelek dan Malaysia bakal menjadi negara ke tujuh di ASEAN untuk meratifikasi RCEP. Saya ingin bertanyakan sama ada Menteri boleh komited untuk membentangkan pindaan rang undang-undang. Tiga Undang-undang Domestik Harta Intelek dibawa ke kementerian ini untuk dibahas dan diluluskan di Parlimen pada bulan Disember. Itu sahaja Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bendera. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Kuala Krai.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Saya ingin menyentuh maksud B.25, Butiran 020100 – Pengawalseliaan Barang Kawalan dan Subsidi. Tuan Pengerusi, isu kenaikan harga barang kini menjadi perbualan ramai rakyat di bawah. Suri rumah merungut tentang harga ikan, ayam dan sayur-sayuran naik mendadak. Kontraktor binaan dan orang kampung yang berhasrat untuk membina rumah juga resah dengan kenaikan harga semua bahan binaan, terutamanya besi. Manakala pesawah terbeban dengan kenaikan harga benih padi dan racun. Walaupun kerajaan hari ini mengumumkan pelbagai insentif dan bantuan tunai, yang pasti pemberian pelbagai insentif dan bantuan tunai kepada rakyat akan lebih bermakna jika mereka dapat menikmati setiap ringgit yang diberikan itu dengan membawa lebih banyak barangan keperluan untuk keluarga mereka. Kenaikan ini melibatkan barangan harian yang mana ia digunakan oleh semua pihak, seperti roti, gandum, tepung, minyak masak dan sebagainya. Manakala bahan basah juga tidak ketinggalan seperti mana yang disebut-sebutkan seperti isu sayur-sayuran dan sebagainya. Misalnya, laporan kenaikan harga ayam yang naik sebanyak lima kali dalam masa seminggu. Kenaikan ini tentunya sangat membebankan rakyat. Saya ingin menanyakan apakah langkah yang komprehensif yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini? Sudah sampai masanya untuk pihak kementerian menangani masalah ini dengan lebih tegas lagi. Adakah kerajaan bercadang untuk mengadakan lebih banyak lagi libat urus dengan kementerian yang terlibat, agensi-agensi dan sebagainya dan turun padang dengan lebih kerap untuk mengatasi masalah kenaikan ini? Isu-isu yang viral berkaitan dengan kenaikan harga barang tertentu yang sering di-viral-kan perlu mendapat tindakan segera daripada pihak kementerian. Contohnya, pada hari ini senarai penuh harga produk sebuah syarikat pengeluar berasaskan roti tersebar luas. Rakyat di luar sana tidak marah kepada syarikat berkenaan, tetapi mereka marah kepada kerajaan. Kononnya, pihak kerajaan melalui kementerian ini tidak mampu mengawal kenaikan berkenaan. Jadi, soalan saya apakah langkah segera yang akan diambil oleh kementerian dalam menangani isu seperti ini? Tuan Pengerusi, yang kedua ialah Butiran 040400 – Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS). Selain kenaikan harga minyak masak yang kita semua tahu, saya juga mendapat maklum berkaitan dengan ketidakcukupan minyak masak bersubsidi. Mengapakah ketidakcukupan ini berlaku? Sedangkan negara kita adalah pengeluar sawit antara yang terbesar di dunia. Sesetengah pekedai mensyaratkan supaya mesti membeli barangan lain untuk mendapatkan bekalan minyak masak. Ini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini hendaklah diatasi dengan segera agar pengguna tidak menjadi mangsa. Ketiadaan bekalan minyak masak ini juga menyebabkan peniaga-peniaga kecil yang menjual pisang goreng, kuih muih di tepi jalan dan sebagainya tidak dapat menjalankan perniagaan mereka. Saya ingin mencadangkan kepada kementerian untuk turut memperluaskan subsidi minyak masak yang dibotolkan. Ini tentunya akan melibatkan perbelanjaan yang besar, namun ia mungkin boleh dilakukan ketika kekurangan minyak masak dalam plastik yang berkurangan di pasaran. Isu yang terakhir Tuan Pengerusi ialah Butiran 020400 – Penguatkuasaan. Saya mencadangkan kerajaan menambah bilangan penguat kuasa bagi membendung masalah peniaga yang tidak mematuhi harga yang ditetapkan oleh kerajaan. Penguat kuasa yang tidak mencukupi menjadikan peniaga menaikkan harga dan menyorok barangan dengan sesuka hati. Berapakah bilangan penguat kuasa di setiap daerah? Berapakah penambahan penguat kuasa untuk tahun 2022 yang dicadangkan dan peruntukan yang disediakan untuk tujuan ini? Saya berharap pihak kementerian dapat melihatnya secara lebih komprehensif. Saya juga ingin menanyakan adakah pihak kerajaan bercadang untuk mengadakan kolaborasi dengan pihak NGO ataupun mewujudkan para sukarelawan bagi membantu penguat kuasa menangani masalah kenaikan dan menyorok barang yang berleluasa ini. Tuan Pengerusi, dalam isu yang sama saya tercari-cari butiran yang berkaitan dengan subsidi minyak petrol. Di kawasan saya amat memerlukan kepada subsidi minyak
petrol, khususnya di kawasan Dabong yang jauh daripada stesen minyak yang tidak ada di sana. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian yang telah memilih Dabong dalam Program Community Drumming. Kewujudan program ini sangat membantu masyarakat setempat untuk mendapatkan bekalan petrol untuk kegunaan pengangkutan penduduk. Saya ingin memohon kepada pihak kementerian melalui program ini agar dapat turut diperluaskan kepada minyak diesel yang mana sekarang hanya minyak petrol diperuntukkan bagi program ini sedangkan terdapat permintaan bagi pengguna kenderaan yang menggunakan diesel seperti kenderaan pengangkutan dan four by four dan juga untuk penggunaan jentera. Kalaulah petrol boleh bagi dengan jumlah tertentu, maka bagi juga pada diesel. Hal ini kerana isu di Dabong belum lagi ada stesen minyak, walaupun saya difahamkan sudah ada syarikat yang telah mendapat lesen daripada pihak kementerian. Akan tetapi, tidak tahu di mana silapnya belum lagi disiapkan dan belum lagi ada. Saya harap mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kementerian. Itu sahaja Tuan Pengerusi, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Seterusnya, Yang Berhormat Hulu Langat.
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Tuan Pengerusi. Izinkan saya terus ke Butiran 020000 – Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, khasnya Butiran 020400 – Penguatkuasaan yang hanya diperuntukkan sebanyak RM34 juta berbanding tahun lalu RM39 juta. Beza RM5 juta itu. Penguatkuasaan ini sangat penting Tuan Pengerusi. Cakaplah apa pun dengan media tentang dasar dan polisi yang hebat tetapi kalau penguatkuasaan lemah akan terus membebankan rakyat. Kalau tengok bilangan jawatan, cuma sebanyak 365 orang pegawai penguat kuasa hendak jaga seluruh Malaysia. Mana cukup. Ini belum ambil kira pegawai yang bercuti dan berkursus. Berapa orang sahaja yang memantau harga barang di daerah- daerah. Mereka menyiasat aduan pengguna, mengawal selia harga barang di pasaran termasuk perbahasan halal. Saya hendak minta Yang Berhormat Menteri anggarkan kepada Dewan ini berapa seharusnya penambahan penguat kuasa baharu. Terkini, daripada sebesar-besar harga besi satu tan hinggalah kepada harga sayur yang tidak selesai-selesai. Harga besi dan lain-lain harga bahan binaan yang tidak terkawal akan membebankan kontraktor-kontraktor kecil, khususnya kontraktor bumiputera yang terkesan akibat wabak. Kami tidak suka momokan-momokan yang diberikan kepada kerajaan ini. Alhamdulillah, Yang Berhormat Timbalan Menteri telah menafikan baru-baru ini tersebar kalau harga ikan mahal, tukar kepada itik. Nasib baik Yang Berhormat Timbalan Menteri sudah nafikan. Tidak betul benda itu. Harga sayur pula saya tidak sempat check lagi. Ada yang mengatakan kerana hujan lebat, maka harga sayur naik sampai 200 peratus. Moga- moga bila sudah tidak hujan, harga boleh kembali balik. Seterusnya, Butiran 030000 – Pendayaupayaan Pengguna. Butiran 030400 – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Kod 20000 hanya sebanyak RM781,600 diberi, berbanding sebanyak RM1 juta tahun lalu. Setiap hari ada sahaja aduan masalah pengguna seperti penipuan dalam internet serta melibatkan jumlah wang jutaan ringgit. Ada yang telefon tribunal jam 10 pagi dan pada jam 1 petang sindiket itu telefon mangsa bertanya, “Mengapa kamu mengadu kepada tribunal?” serta mengugut mangsa tersebut. Apakah kerahsiaan tribunal ini benar-benar terjamin serta tidak menakutkan mangsa untuk membuat aduan? Bagaimanakah seramai 16 orang pegawai tribunal hendak menjaga seluruh negara akibat pertambahan penipuan dalam talian? Tuan Pengerusi, selanjutnya Butiran 040000 – Program Khusus. Mengapakah Butiran 040200 – Emolumen Kakitangan Kontrak dan Butiran 040300 – Emolumen
Pegawai Pemantau Harga (PPH) tidak diperincikan bilangan jawatannya dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2022 ini. Rakyat hendak tahu keberkesanan Kerajaan Keluarga Malaysia dalam mengawal harga barang. Butiran 040800 – Advokasi dan Publisiti Kepenggunaan. Peruntukan sebanyak RM2 juta tidak cukup untuk memastikan info apa yang dikuatkuasakan sampai ke pengetahuan seluruh rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga barangan makanan. Banyak agensi pemasaran tempatan boleh dilibatkan, termasuk NGO-NGO di daerah yang mampu untuk membantu kementerian menyelesaikan isu-isu kepenggunaan khususnya berkaitan produk halal. Akhir sekali, Butiran 00900 – Penyelidikan dan Dasar Kepenggunaan cuma diberi sebanyak RM210,000.
Bagaimanakah penyelidikan itu akan dapat diuruskan? Kementerian perlu lebih banyak membuat sesi libat urus dengan ahli-ahli akademik di IPTA serta peniaga dan usahawan supaya mendapat input yang benar-benar berkesan bagi menyelesaikan masalah harga barang yang semakin meruncing akibat kesan wabak ini. Terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat. Seterusnya, dijemput Yang Berhormat Setiu.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi rabbil alamin wassalatu wassalamu ala asrafil ambiya iwal mursalin, wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Tuan Pengerusi, Butiran 020300 – Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan. Saya yakin ramai Ahli Dewan yang telah membangkitkan soal kenaikan harga barang ini. Sebelum ini tular kenaikan harga ayam sehingga mencecah RM11 satu kilo. Belum selesai isu harga ayam, sekarang harga sayur-sayuran pula berlaku kenaikan sehingga 200 peratus. Perkara ini amat membebankan rakyat lebih-lebih lagi apabila datangnya musim tengkujuh. Kuasa beli rakyat juga semakin menurun, kalau sebelum ini ayam akan menjadi pilihan kepada rakyat bila harga ikan melambung di musim tengkujuh tetapi sekarang harga ayam, ikan, sayur-sayuran naik mendadak. Tidak dinafikan Yang Berhormat Menteri telah menjawab bahawa isu ini dalam kajian. Punca kenaikan masih lagi dikaji. Walau bagaimanapun, saya ingin meminta pihak kementerian untuk segera mengambil langkah proaktif dan drastik bagi menstabilkan semula harga barang ini. Butiran 020400 – Penguatkuasaan. Merujuk kepada butiran ini, saya ingin membangkitkan berkenaan penjualan produk yang tidak bermanfaat di laman e-dagang tanpa tapisan yang boleh membawa mudarat. Sebagai contoh ialah kamera tersembunyi yang menyerupai pelbagai objek seperti penggantung baju tetapi sebenarnya kamera perakam video. Malah, pengguna boleh mendapatkannya dengan mudah sekali pada harga yang begitu rendah. Perkara ini menyebabkan berlakunya banyak kes yang melibatkan mangsa dirakam tanpa disedari. Tindakan tersebut merupakan salah satu gangguan seksual. Justeru itu, sejauh manakah penguasaan dilakukan ke atas barang-barang yang dijual secara e-dagang yang membawa kepada aktiviti jenayah? Butiran 040200 – Emolumen Kakitangan Kontrak. Berdasarkan kepada peruntukan tahun 2022 sebanyak RM3 juta bagi emolumen ini. Oleh itu, saya ingin memohon penjelasan bagi butiran tersebut. Adakah kerajaan bercadang menambah kaki tangan kontrak dan adakah ia melibatkan bahagian penguatkuasaan dan berapa orang pegawai penguat kuasa yang akan dilantik di seluruh negara?
Butiran 041000 – Program Tindakan Sara Hidup. Saya meneliti peruntukan bagi butiran ini sebanyak RM1.5 juta untuk program ini. Mohon penjelasan apakah bentuk program yang akan dilaksanakan dan apakah bentuk kriteria peserta yang akan dipilih menyertai program tersebut? Butiran 020600 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Saya ingin menyentuh berkenaan dengan isu kartel. Perlakuan anti persaingan di dalam sesebuah pasaran boleh mengakibatkan ketidakstabilan kos barangan asas disebabkan wujudnya penyalahgunaan kuasa pasaran di mana-mana peringkat rantaian bekalan. Secara tidak langsung, ini akan mengakibatkan kenaikan harga barang. Oleh itu, langkah kerajaan menaikkan peruntukan daripada RM6.5 juta kepada RM10 juta amat wajar sekali. Soalan saya, apakah mekanisme yang telah dijalankan dan apakah perancangan pembaharuan yang telah dirangka bagi memastikan isu kartel, anti persaingan, penyalahgunaan kuasa serta monopoli dapat ditangani dengan lebih efisien dan holistik. Sekian, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Setiu. Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Muar. Tidak ada di dalam Dewan. Saya menjemput Yang Berhormat Tebrau.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Izinkan saya sertai pembahasan, ya. Tuan Pengerusi, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah jagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia tetapi saya tidak nampak ada apa-apa bajet yang disediakan atau diperuntukkan untuk suruhanjaya ini. Akan tetapi, saya memang mahu sentuh kepada isu-isu yang berkaitan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Jadi, saya kena pilih satu butiran, ya. Jadi, saya pilih Butiran 020400 – Penguatkuasaan, di bawah kementerian ini. Selama ini, ramai setiausaha korporat mengalami masalah pada masa mereka memfailkan dokumen atau mengendalikan perkara-perkara yang harus difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia tetapi masalah-masalah itu sudah lama tetapi tidak ada penyelesaian. Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk membangkitkan beberapa masalah yang dialami oleh setiausaha korporat di luar sana supaya mereka tahu keluhan mereka dapat didengar di Dewan ini. Jadi, isu yang pertama adalah penggunaan portal atas talian SMM seperti MyCoID, MyBIS dan MyLLP. Portal-portal atas talian diperkenalkan bagi memudahkan urusan mengemas kini maklumat syarikat dan menyerah simpan dokumen berkanun syarikat. Namun begitu, proses penggunaan portal-portal tersebut kurang lancar di sebabkan kelajuan portal-portal tersebut perlahan ketika memuat semula halaman atau refresh page dengan izin dan memuat naik dokumen ke dalam portal. Terdapat juga masalah untuk memuat naik dokumen seperti penyata kewangan dan penyata tahunan syarikat di sebabkan masalah tetapan data dalam dokumen tersebut. Ini menyebabkan ketidakcekapan atau inefficiency dengan izin, dalam proses menyerah simpan dokumen berkenaan kerana dokumen perlu diserah simpan di kaunter SSM setelah mendapat kelulusan daripada Pegawai SSM. Selain itu, portal-portal tersebut sering mengalami masalah teknikal yang menyebabkan proses menyerah simpan dokumen tergendala. Di samping itu, potensi portal tidak diaplikasikan sepenuhnya kerana sebahagian prosedur dan dokumen sahaja yang boleh dikemas kini melalui portal SSM. Sebagai contoh, proses cari nama bagi pertukaran nama syarikat boleh dilakukan melalui MyCoID. Namun, setelah mendapat kelulusan syarikat tetap perlu menyerah simpan dokumen pertukaran nama syarikat di kaunter SSM. Selain itu, pembatalan nama syarikat atau strike off dengan izin dan pembubaran syarikat atau liquidation dengan izin perlu diserah simpan melalui kaunter. Jadi, saranan daripada saya adalah portal-portal atas talian kena dinaiktarafkan dan penambahbaikan dilakukan bagi melancarkan proses serah simpan secara atas talian. Selain itu,
penggunaan portal atas talian diperluaskan bagi menyerah simpan dokumen-dokumen berkanun lain di SSM. Ini sudah dilakukan di negara lain. Semua boleh dimuat naik melalui Internet tetapi di Malaysia, SSM banyak proses ia pegang sepenuhnya. Boleh muat naik atas talian tetapi ada dokumen mesti diserah sebagai hardcopy dengan izin. Kedua, pencegahan syarat keperluan SSM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Saya berharap Kementerian Kewangan Malaysia dan kementerian ini akan ada perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini.
Bagi saya masa untuk habiskan ini, tiga sahaja. Terdapat percanggahan antara keperluan SSM dan LHDN. Contohnya bagi proses pembatalan nama syarikat, antara syarat bagi permohonan pembatalan nama syarikat adalah untuk mendapatkan pelepasan cukai daripada LHDN. Namun, LHDN tidak akan memberi pelepasan cukai selagi nama syarikat belum dibatalkan. Jadi, satu agensi memerlukan agensi lain habiskan kerja baru dia boleh lakukan, tetapi agensi lain yang meletakkan syarat yang sama. Jadi ini menyusahkan setiausaha korporat di luar. Jadi cadangan pihak SSM dan LHDN perlu berbincang dan mencapai penyelesaian bagi prosedur permohonan pembatalan nama syarikat di SSM dan pelepasan cukai di LHDN. Terakhir, sedikit sahaja. Maklum balas telefon dan e-mel. Maklum balas melalui telefon dan e-mel adalah perlahan terutama panggilan telefon sering tidak dapat disambungkan. Maklum balas melalui e-mel juga boleh mengambil masa sehingga beberapa minggu sebelum dibalas. Kadangkala maklum balas yang diterima tidak dapat membantu menyelesaikan persoalan. Contohnya, berkenaan pengisytiharan beneficial owner ketika meminta pencerahan tentang pengisytiharan tersebut, setiausaha telah diminta untuk menyertai seminar berkaitan atau bertanya pendapat pihak profesional. Namun, terdapat perbezaan pendapat tentang pengisytiharan daripada pihak-pihak tersebut. Jadi ada banyak masalah yang dialami oleh setiausaha korporat di luar. Jadi saya berharap Yang Berhormat Menteri boleh menjawab. Saya tidak berharap jawapan dapat diberi malam ini di Dewan ini secara lisan, tetapi saya boleh terimalah kalau jawapan diberi secara bertulis. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Pasir Gudang.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya memilih Butiran 010200 – Dasar dan Perancangan Strategik. Mengapa saya memilih butiran ini? Ini ada kaitannya dengan perkara yang telah disentuh oleh ramai Ahli Parlimen iaitu tentang harga barang makanan yang naik sekarang. Saya tidak berhajat untuk hendak tambah kritik kepada kerajaan, iaitu tidak constructive. Maknanya kita di Dewan ini sama-samalah kita cari jalan untuk selesaikan masalah ini, saling bantu-membantu. Jadi saya merujuk perkara ini, Dasar dan Perancangan Strategik, peruntukan anggarannya lebih RM2 juta. Mungkin ini di peringkat kementerian satu unit yang penting merangka dasar kementerian dan juga perancangan strategik termasuklah soal bagaimana hendak mengawal harga barang-barang makanan, mengawal kos sara hidup supaya jangan terlalu tinggi. Jadi, saya hanya hendak sampaikan dan berkongsi pandangan dengan Yang Berhormat Timbalan Menteri iaitu saya memahami memang bukan senang hendak menyelesaikan masalah ini di peringkat waktu ini. Akan tetapi harga makanan ini naik sangat tinggi, rakyat susah sekarang dan mereka marah. Jadi, kalau kita Ahli Parlimen kritik sahaja pun tidak membantu. Jadi, rakyat melihat belanjawan negara keseluruhannya RM300 bilion lebih itu, bagi mereka tidak ada makna. Kalau mereka hendak beli ayam pun mahal, sayur sawi pun mahal, roti. Jadi ini semua kita sudah tahu. Jadi, kembali kepada butiran yang saya sebut ini, kita perlu ada dasar jangka panjang, jangka sederhana, jangka pendek. Saya tidak mahulah kata kita telah gagal.
Saya guna perkataan ‘kita’. Maknanya macam, adakah kita telah hilang punca? Maknanya untuk menghadapi sistem ekonomi ini yang membebankan rakyat. Saya gunakan istilah ‘kita’. Maknanya kalau kita jadi kerajaan pun masalah yang sama. Jadi, perlulah difikirkan kerana takkan tidak ada jalan keluar untuk kita atasi perkara ini. Tuan Pengerusi, saya percaya bahawa kalau kita tengok di situ mungkin minta penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri, bilangan jawatan di bawah butiran yang saya sebut itu, 26. Boleh jelaskan pada Dewan ini peranan butiran Dasar dan Perancangan Strategik. Jadi, adakah butiran ini ada hubung kaitnya untuk membantu kerajaan, membantu kementerian untuk membuat formula dasar-dasar yang mampan berjangka panjang untuk menghadapi isu ini? Jadi saya Tuan Pengerusi, saya bersimpati dgn pihak kementerian, Yang Berhormat Menteri dan sebagainya dalam keadaan sekarang ini. Kita sama-samalah berusaha. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Tumpat.
Terima kasih Tuan Pengerusi di atas peluang yang diberikan kepada saya. Pertamanya, saya ingin menyentuh Butiran 020300 – Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan. Saya ingin bertanya mengenai status Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, apakah jawatankuasa ini masih berkuat kuasa? Siapa yang menganggotainya ketika ini? Apakah saranan-saranan yang diambil kira memandangkan kos sara hidup ini menjadi tumpuan utama khususnya di pasca pandemik ini? Tuan Pengerusi, saya ingin juga menyentuh Butiran 020400 – Penguatkuasaan. Saya ingin bertanya mengenai penguatkuasaan perniagaan dalam talian, khususnya melibatkan perniagaan food and beverages yang tidak meletakkan tanda non halal sehingga mendorong kekeliruan kepada pengguna Muslim. Saya ingin tahu, berapakah aduan kes yang telah dilaporkan berkaitan dengan perkara ini sepanjang 2020 sehingga tahun ini? Serta, apakah tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh kementerian bagi mengatasi perkara ini? Saya juga ingin mengetahui mengenai perkara yang tular di media sosial mengenai peningkatan harga sayur-sayuran yang tular kubis bunga daripada RM7 kepada RM16, sawi pendek RM3 kepada RM9, brokoli RM8 kepada RM20, sawi RM5 kepada RM8, kacang buncis RM8 kepada RM15, kubis RM6, cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14. Jadi, ini yang ditularkan. Saya ingin mengesahkan mengenai peningkatan harga ini serta, apakah ada siasatan terhadap perkara ini dilaksanakan oleh pihak kementerian? Ini kerana sesungguhnya sangat menyusahkan rakyat. Seterusnya Tuan Pengerusi, Butiran 041000 – Program Tindakan Sara Hidup. Saya ingin bertanya mengenai apa rancangan kementerian di bawah butiran Program Tindakan Sara Hidup ini untuk mengawal kenaikan harga barang ketika ini.
Mengapa seolah-olah kenaikan harga barang tidak langsung dikawal secara bersistematik sehingga mendorong kegelisahan dalam kalangan rakyat. Mohon perhatian kementerian. Seterusnya, saya juga ingin menyentuh Butiran 041100 – Kempen Beli Barangan Malaysia. Apakah program-program kementerian dalam melaksanakan Kempen Beli Barangan Malaysia ini dan setakat manakah kejayaan yang dicapai oleh kerajaan dalam menjalankan kempen membeli barangan Malaysia ini? Terakhir Butiran 050300 – Program Jualan Malaysia iaitu apakah yang akan digunakan oleh kerajaan bagi one-off Program Jualan Malaysia. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Seterusnya, Yang Berhormat Rasah.
Terima kasih Tuan Pengerusi ke atas peluang yang diberikan untuk saya pada petang ini. Tuan Pengerusi, perkara pertama yang saya hendak sebutkan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah berkenaan dengan Maksud Pembangunan 00600 – Pembangunan Infrastruktur Asas. Saya hendak sebutkan secara spesifik. Daripada semua kementerian yang kita ada, inilah kementerian yang mendapat peruntukan pembangunan yang paling sedikit. Saya pun bersimpati dengan Yang Berhormat Menteri dan Timbalan Menteri. Kebetulan kedua-duanya sahabat saya. Saya harap sebenarnya lebih banyak peruntukan patut diberikan supaya kementerian ini boleh berdaya maju, lebih proaktif dalam melaksanakan rancangan. Cuma saya hendak sebut di bawah Maksud Pembangunan 00600 – Pembangunan Infrastruktur Asas. Tahun lepas RM39.9 juta dalam Bajet 2021. Bajet kali ini RM53.5 juta, ada naik. Ia juga merupakan sebahagian besar daripada peruntukan pembangunan untuk kementerian ini. Saya hendak tanya, apakah jenis infra yang akan dibangunkan, dinaik taraf, diperbaiki ataupun diganti baharu ataupun ada benda-benda perkara baharu yang akan dimajukan atau dibangunkan di bawah tajuk ini? Yang Berhormat Timbalan Menteri, sekali lagi saya ambil kesempatan pada petang ini, saya rasa sudah berulang dengar saya cakap, berkenaan dengan apakah yang akan kita lakukan– yang akan dilakukan oleh kementerian ataupun agensi terbabit untuk perniagaan online. Ini saya hendak sebut, saya hendak ulangi. Sebab inilah trend hari ini dan juga masa akan datang. Kalau dulu pergi kedai runcit, mini market – Benda itu ada lagi tapi trend baharu itu, kita kena bangunkan infrastruktur kita supaya pengguna yang kita ada, rakyat kita sentiasa dilindungi dan dielakkan daripada ketirisan oleh mana-mana pihak. Perkara kedua Tuan Pengerusi yang saya hendak sebut pada petang ini, adalah berkenaan dengan Butiran 020300 – Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan. Saya nampak peruntukan pada tahun sebelumnya, RM3.1 juta. Untuk bajet kali ini, kurang sikit RM2.6 juta sahaja. Saya hendak sebutkan Yang Berhormat Tuan Pengerusi, kos sara hidup ini benda yang sangat besar. Kita jangan pandang remeh. Kita jangan fikir benda-benda yang mungkin kita sebut. Oh! Ini jet pertahanan, Kementerian Luar itu benda besar. Jangan kita fikir macam ini. Ini kerana, kos sara hidup adalah perkara yang paling dekat dengan rakyat. Orang kampung, orang desa tidak kira, B40, M40, yang paling dekat, mereka tidak sebut jet pejuang kita belanja berapa. Apa yang mereka hendak tahu adalah kenapa kos sara hidup harian naik. Kenapa ikan harganya naik? Macam Yang Berhormat, beberapa orang sudah sebut sudah. Harga sayur naik. 1 hari bulan nanti, roti Gardenia harganya naik. Jadi, saya mohon khas untuk roti ini, saya baca laporan tadi dikatakan bahawa wakil kementerian belum lagi bersemuka dengan syarikat tersebut. Saya mintalah kementerian ini supaya menghalang kenaikan pada ketika ini. Kita masih lagi dibelenggu, di bawah bayangan pandemik. Rakyat masih susah. Kita sebutkan bermacam subsidi, bantuan kepada rakyat. Akan tetapi, harga pula naik. Sudahlah harga roti. Saya tidak nampak syarikat roti tersebut ada keperluan untuk dinaikkan harga roti. Dia tidak rugi. Kita, 18 bulan kita dibayangi oleh pandemik. Syarikat ini tidak pernah tutup. Roti tetap laku. Itu makanan asas untuk semua rakyat, khasnya golongan B40. Jadi, saya minta kementerian supaya mengarahkan syarikat tersebut kekalkan harga yang sedia ada. Itu saya rasa sangat mustahak. Kita bayangkan kalau hari ini sayur naik meningkat, telur, ikan, naik banyak. Kalau zaman Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu jadi Yang Berhormat Menteri KPDNHEP, saya rasa Pakatan Harapan sudah kena balun depan belakang. Kaw-kaw kena balun sudah. Ini bukan soal politik. Jadi, kita kena bersama untuk memastikan harga barangan dalam keadaan yang sesuai dan berpadanan dengan pendapatan dan kemampuan rakyat. Saya sebagai ahli jawatankuasa di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri, saya mohon supaya kementerian ini supaya adakan libat urus segera dengan jawatankuasa ini melibatkan daripada Ahli-ahli Parlimen, daripada kedua-dua pihak dalam
dua-tiga minggu ini untuk memastikan suara rakyat benar-benar didengar oleh pihak kementerian. Berkenaan dengan harga barang juga, saya nampak ada RM41 juta diperuntukkan untuk Butiran 040300 – Emolumen Pegawai Pemantau Harga. Saya hendak tahu, apakah fungsi mereka? Apakah yang mereka telah lakukan dan sama ada mereka ini akan diteruskan macam biasa ataupun tidak? Perkara terakhir yang saya sebutkan tetapi bukan maknanya tidak penting sebaliknya sebenarnya sangat penting. Tuan Pengerusi saya mohon sedikit tambahan masa kecederaan. Ini berkenaan dengan Butiran 041100 – Kempen Beli Barangan Malaysia. Kempen ini kita sudah lancarkan dari dulu. Zaman Kerajaan Barisan Nasional dulu. Lepas itu Pakatan Harapan teruskan. Perikatan Nasional teruskan. Hari ini, kerajaan Keluarga Malaysia kita teruskan. Bagus, RM20 juta. Kalau boleh, saya minta lebih lagi. Ini kerana, saya anggap ia sebagai sesuatu yang perlu kita galakkan. Ini kerana, bukan setakat kita hendak kawal aliran wang tunai itu dalam negara kita sebab jauh lebih penting adalah kalau semua rakyat Malaysia beli barangan buatan Malaysia. Apa yang terjadi adalah, ia mewujudkan jauh lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sendiri. Ini kerana, produk itu dibuat di sini. Jadi rakyat kita– Jadi, ia merupakan satu rangkaian. Saya hendak sebutkan di sini. Saya minta maaf ya Tuan Pengerusi, ini baju yang kami semua dapat dua hari dulu, baju Keluarga Malaysia. Kualiti dia baik. [Sambil menunjukkan sehelai baju] Saya malam tadi hendak cuba hendak pakai, memang bagus. Cuma saya hendak utarakan satu kekecewaan. Saya minta maaflah, baju ini tetap saya akan pakai tapi saya nampak satu kekecewaan kerana dekat belakang dia tulis, ‘Made in Bangladesh’. Baju Keluarga Malaysia, gambar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Kesembilan, sahabat saya ada sini. Ini yang kita hendak dukung. Akan tetapi, apabila pula Keluarga Malaysia, barangan dia buatan Bangladesh. Saya bukan anti mana-mana negara, saya minta maaf. Jangan nanti kata Yang Berhormat Rasah ini anti mana-mana negara. Bagi saya, tidak kira negara mana Nepal kah, Mongolia kah, Vietnam kah, Bangladesh kah, kita hendak barangan buatan Malaysia...
Baik, terima kasih.
Sebab apabila– kenapa saya hendak sebut. Saya tidak salahkan Timbalan Menteri sahabat saya ataupun Menteri ataupun kementerian ini. Saya tahu perolehan bukan kementerian ini...
Baik.
Cuma saya harap khas untuk kementerian ini, supaya boleh mengutarakan perkara ini dalam Mesyuarat Kabinet supaya kerajaan membuat satu garis panduan yang tegas, semua pemerolehan untuk produk-produk yang akan dibeli dengan dana peruntukan kerajaan tidak kira kementerian mana, tidak kira harga dia macam mana, belilah barangan buatan Malaysia...
Terima kasih, baik.
Walaupun pembangkang, pembangkang pun ada tanggungjawab sama-sama mendukung kempen belilah barangan buatan Malaysia. Kita hendak rakyat kita beli barangan buatan Malaysia. Takkanlah kerajaan hendak beli barang luar. Jadi sekian, itu saja. Saya mohon pandangan ini boleh oleh...
Terima kasih Yang Berhormat Rasah, mencelah sikit.
Ya, Yang Berhormat...
Yang Berhormat Bukit Bendera. Masa sudah habis Yang Berhormat Bukit Bendera...
Saya mencadangkan supaya Menteri Perpaduan memohon maaf ke atas insiden ini...
Baik.
Barang buatan Bangladesh dalam T-shirt Hari Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan. I think hujung minggu ini.
Okey tidak? Saya bawakan. Saya cuma hendak perkara ini kita ambil iktibar, ambil pengajaran supaya dia tidak berlaku lagi. Lepas ini kita tidak mahu salahkan siapa-siapalah...
Baik.
Bagi saya, yang penting kita bergerak ke hadapan, kita pastikan negara kita maju dalam kempen belilah barangan buatan Malaysia. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Rasah. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Bachok.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Bismillahi Rahmani Rahim. [Membaca doa alu-aluan] Saya terus kepada Butiran 041100 – Kempen Beli Barangan Malaysia. Kita melihat peningkatan jualan yang ketara dalam Kempen Beli Barangan Malaysia yang dianjurkan oleh kementerian yang mencecah RM3.3 bilion berbanding pada tahun 2019 yang mencecah RM2.9 bilion bagi sektor peruncitan. Begitu juga jualan melibatkan portal dalam talian serta e-dagang melebihi RM145 juta berbanding sebelum ini hanya mencecah RM6.8 juta sahaja. Soalan saya, apakah kementerian mempunyai strategi baru dalam Kempen Beli Barangan Malaysia bagi terus merancakkan lagi penggunaan domestik ketika ini? Saya juga ingin bertanya, adakah butiran ini juga termasuk dalam Kempen Shop Malaysia Online? Jika ya, berapakah yang diperuntukkan khusus bagi Kempen Shop Malaysia Online ini dan nilai jualan yang disasarkan bagi tahun 2022? Saya juga ingin bertanya, apakah rancangan kementerian untuk terus memperkasakan PMKS supaya menyertai digitalisasi ekonomi dengan pengaplikasian sepenuhnya terhadap platform-platform e- dagang. Saya juga ingin mengetahui, berapa jumlah jualan yang dicatatkan sepanjang kempen pada 1 Januari, 2 Februari, 3 Mac, 4 April, 5 Mei sehinggalah 11 November bagi tahun 2021 ini yang dilaksanakan melalui platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada? Butiran 020200 – Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan. Di bawah butiran ini, saya ingin bertanya pandangan kementerian mengenai penyediaan perkhidmatan bayaran secara ansuran atau buy now, pay later yang sebahagiannya masih belum patuh syariah. Pertama soalan saya, apakah langkah kementerian untuk memastikan para pengguna tidak tersalah memilih perkhidmatan bayaran ansuran berasaskan kepada buy now, pay later yang masih tidak patuh syariah ini? Kedua, saya ingin bertanya apakah langkah bagi memastikan kesemua penyedia perkhidmatan terbabit menjalankan transaksi berdasarkan shariah compliance? Butiran 030400 – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Saya ingin bertanya, berapa kes yang telah dirujuk ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sepanjang 2021 ini dan berapa peratus kah melibatkan jual beli dalam talian? Apakah langkah kementerian untuk meningkatkan kesedaran pengguna terhadap hak mereka kerana ada terdapat sesetengah kes pembelian, khususnya dalam talian, yang mengalami kerugian disebabkan barang yang sampai kepada mereka tidak sama seperti barang yang mereka beli secara dalam talian tersebut. Walaupun kebanyakan kes tersebut mungkin dapat diselesaikan secara dua pihak di antara pembeli dan penjual, namun masih terdapat banyak kes yang tidak mendapat penyelesaian daripada kedua-dua pihak. Oleh itu, sejauh mana kempen kesedaran hak pengguna ini diterapkan oleh kementerian supaya para pengguna
mempunyai pengetahuan yang cukup untuk bertindak reclaim semula hak mereka sebagai pengguna? Saya juga ingin bertanya terhadap kes-kes tuntutan tebus guna melibatkan syarikat-syarikat kurier. Apakah tindakan yang diambil terhadap syarikat kurier ini jika terdapat kes-kes kerosakan barang dalam proses penghantaran? Adakah kes-kes seperti ini boleh diklasifikasikan di bawah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)? Terakhir, Butiran 020200 – Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan. Saya ingin menyentuh juga isu kenaikan harga sayuran yang agak ekstrem sebagaimana yang dibangkitkan oleh sebahagian rakan Ahli Parlimen yang lain. Perkara ini juga telah tular di media sosial ketika ini dengan rasa tidak puas hati yang amat di kalangan rakyat. Saya ingin mendapat penjelasan lanjut daripada kementerian mengenai tindakan jangka panjang dan pendek terhadap pengawalan kenaikan kos input pertanian yang mendorong kos push factor kepada kenaikan harga sayuran tersebut. Perkara ini sama seperti dorongan kenaikan harga ayam sebelum ini. Kos-kos input pertanian seperti baja, racun, benih yang tinggi telah memberi kesan langsung terhadap harga sayuran. Saya kira amat wajar sekali bagi pihak kementerian untuk menangani isu ini dengan lebih berstrategik dan holistik. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bachok. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Permatang Pauh.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam hormat Tuan Pengerusi. Saya terus kepada maksud B.25 di bawah Butiran 020100 – Pengawalseliaan Barang Kawalan dan Subsidi. Saya ucap terima kasih kepada kementerian kerana sekurang-kurangnya mampu mengurangkan harga kit ujian kendiri. Saya fikir ini bantu proses FTTIS ataupun TRIIS untuk memastikan lebih ramai lagi rakyat dapat menjalankan ujian dalam kita masuk tempoh endemik. Akan tetapi sudah tentu sekarang ini semua pihak menyatakan kebimbangan melihatkan kepada kenaikan harga barangan. Harga ayam meningkat sehingga 40 peratus, cecah lebih kurang RM9.50 sekilo. Telur ayam juga lebih RM3 sepapan sejak seminggu yang lalu dan yang paling mengejutkan, sayur-sayuran. Kita bercakap tentang mahu rakyat yang sihat dan lebihkan makanan bernutrisi tetapi hampir 200 peratus peningkatannya. Saya ingin menanyakan kementerian, pasca pandemik sepatutnya kita merancang bukan sahaja soal penggunaan skim harga maksimum musim perayaan bagi barangan-barangan yang dikira terkawal. Sebelum ini disebut oleh Yang Berhormat Menteri, 35 barangan berbanding 27 barangan tahun lalu tetapi tidak digambarkan menerusi harga barangan. Ini kerana bila kita masuk ke tempoh PKP dan selepas PKP, maka mekanisme yang sama harus diambil kira bila ekonomi dibuka. Itu pandangan yang saya fikir harus diambil kira oleh kerajaan kerana mahu tidak mahu, rakyat takut. Kita mungkin berhadapan dengan pengenalan PKP semula sekiranya kes bertambah secara besar-besaran. Jadi, mahu tidak mahu, harga barangan ini dipantau, termasuklah yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sebelumnya, yakni isu makanan haiwan, dedak yang memang diimport sepenuhnya untuk ayam. Bukan dedak tersebut secara keseluruhan tetapi the raw materials. Apa yang disebut kepada pihak saya, banyak pengusaha mengatakan mereka memang terkesan. Ini kerana semasa tempoh PKP, bila harga jatuh, mereka tak mencatatkan hasil keuntungan, tidak ditanya bagaimana mereka survive. Sekarang, sudah tentu kita mahu harga terkawal tetapi harus mengambil kira dalam jangka masa sederhana dan panjang. Bagaimana kerajaan boleh memastikan the input materials untuk bukan sahaja ayam tetapi haiwan ruminan dapat dikenal pasti dan diguna pakai dalam negara sendiri. It is a part and parcel of food security. Saya tahu ada kajian oleh MAFI, KPDNHEP dan Kementerian Kewangan bagi melihat kenaikan harga ayam dan telur menerusi pemberian subsidi dedak, but for me, that is short-term. Longer
term, kena ambil kira other factors. Sebelum mengawal harga, harap diambil kira juga tentang penggunaan skim semasa tempoh PKP dan selepas PKP serta melihatnya dengan serius. Kedua, Butiran 020600 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Saya rujuk pada tahun 2019, ada tinjauan pasaran sektor makanan menjalankan kajian melihat selama sembilan bulan terhadap lima barangan basah, termasuk daging, ikan kembung, sayur-sayuran, sawi dan kubis bulat serta susu formula. Apa kesimpulannya, Tuan Pengerusi? [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa] Pertama, harga ikan kembung naik secara sistematik selama 10 tahun. Kedua, harga susu formula bayi berkembang secara konsisten antaranya 15 peratus hingga 20 peratus daripada 2014 hingga 2018. Maksudnya, pandemik hanya boleh dilihat sebagai mengeruhkan keadaan, but the problem was always there. Harga sawi meningkat enam peratus setahun secara purata antara 2008 hingga 2018 di seluruh tahap rangkaian bekalan. Bilangan import makanan bagi sayur-sayuran dan buah-buahan, daging, ikan serta makanan laut memperlihatkan trend yang meningkat dari tahun 2014 hingga 2017. Jadi, saya berharap isu yang ditimbulkan, termasuklah penyalahgunaan permit yang diluluskan, ini disebutkan oleh kementerian sendiri. Pada saya, tak kira kerajaan mana pun, when the problem is systemic, kita kena gandingkan kerjasama dan menyelesaikannya secara tuntas sekarang. Maka, MyCC ketika itu mengesyorkan agar pemantauan rapi ke atas AP yang telah diberikan bagi memastikan ketersediaan pilihan dan harga yang kompetitif di pasaran.
Apakah yang dilakukan oleh kementerian pasca pengeluaran report? Adakah kementerian akan mengeluarkan senarai AP yang telah di senarai hitam - syarikat-syarikat yang gagal ataupun memang jelas tidak amanah dalam mengguna pakai AP mereka? Bagaimana juga langkah-langkah lain yang diambil oleh kementerian bagi mengatasi hal ini, lebih-lebih lagi melihat kepada perancangan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan juga Kementerian Kewangan kerana mahu tidak mahu kita perlukan an integrated approach. Terima kasih, Tuan Pengerusi. Saya harap dapat memberikan jawapan. Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Permatang Pauh. Selanjutnya Yang Berhormat Dungun.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi. Surah 6, ayat 34 iaitu saya hendak bangkitkan satu keadaan berkait dengan Butiran 020100 – Pengawalseliaan Barang Kawalan dan Subsidi iaitu daripada ayat ini yang membawa maksud sebelum saya bangkitkan isu-isu yang berkaitan. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] sehingga akhir hayat yang bermaksud, “Berkata Balqis sesungguhnya, Raja-raja yang mana kerajaan- kerajaan apabila mereka memasuki di suatu daerah, mereka akan menjadikan daerah tersebut dalam keadaan terpaksa tunduk kepada kekuasaan kerajaan itu”. Oleh itu saya pohon supaya di bawah Butiran 020100 - Pengawalseliaan Barang Kawalan dan Subsidi, kerajaan biarlah melalui kementerian ini dilihat dalam suasana adanya suatu kuasa yang menakutkan dan menggerunkan golongan yang mengambil kesempatan dalam suasana kesulitan dan kesusahan rakyat pada hari ini. Saya menyebutkan pertamanya ialah pada bulan Ogos 2021, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggantung lesen dan menarik semula kuota barang kawalan serta bersubsidi yang diberikan kepada 25 syarikat terbabit dalam penyelewengan. Soalnya, bagaimanakah tindakan yang diambil ini sampai kepada peringkat menggerunkan syarikat-syarikat lain yang terbabit dengan penyelewengan dan sejauh manakah setakat ini tindakan telah diambil. Soalan saya lagi, adakah masih banyak lagi syarikat dalam siasatan KPDNHEP dalam isu ini?
Kedua, apakah pelan terbaru kementerian untuk mengelakkan penyelewengan melibatkan syarikat-syarikat seperti ini daripada terus berlaku. Ketiga pada masa ini, didapati bekalan minyak masak paket 1 kilogram sering tiada dalam pasaran, sedangkan ia adalah barang kawalan. Soalan saya apakah punca ketiadaan bekalan ini dan perancangan daripada kementerian bagi menangani masalah ini? Difahamkan juga bahawa sebab bila berlakunya pembukaan sektor ekonomi, dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, mendorong kepada permintaan yang sangat tinggi yang sekali gus menyebabkan kenaikan harga mendadak barangan asas seperti ayam dan minyak masak kebelakangan ini. Adakah benar fakta ini? Maka apakah pelan daripada kementerian bagi mengharmonikan situasi ini bagi memastikan pembukaan sektor ekonomi tidak mengganggu harga barangan asas ini? Kelima, selain itu terdapat rungutan bahawa penjual barangan asas ini terpaksa menaikkan harga pada waktu ini berikutan tindakan pemborong meletakkan harga yang tinggi kepada mereka. Saya pohon kementerian menyiasat juga perkara ini. Butiran 020300 – Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan. Pertama, sebagai pihak yang mengurus pangkalan data harga barangan keperluan pengguna, sebagai sumber rujukan kerajaan, sejauh manakah keberkesanan pangkalan data ini untuk menganalisa corak naik turun barang dalam memberi fokus untuk membantu rakyat dalam membeli barang keperluan. Bagaimanakah data-data ini dapat disampaikan kepada rakyat, supaya mereka mengetahui pergerakan harga barang? Kedua, apakah jenis program-program dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dalam pengedaran barangan keperluan asas ke luar bandar. Terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih, Yang Berhormat Dungun. Seterusnya Yang Berhormat Bayan Baru, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin menyokong perbahasan Yang Berhormat Permatang Pauh dan juga Yang Berhormat Pasir Mas berkenaan dengan masalah kenaikan harga barang dan sebagainya. Kita tahu bahawa isu ini telah lama. Butiran 020100 - Pengawalseliaan Barang Kawalan dan Subsidi. Kita tahu bahawa masalah kenaikan harga barang ini ia meliputi seluruh rantaian (supply chain). Kita tahu bahawa tadi Yang Berhormat Pasir Mas telah bangkitkan bahawa input pertanian, saya setuju sangat kerana kita tahu bahawa input pertanian...
Dungun, Tuan Pengerusi, Dungun.
Okey dan Yang Berhormat Dungun juga. Jadi input pertanian ini, banyak yang melibatkan supply chain. Jadi kita mahu kementerian kalau boleh panggil pengusaha-pengusaha untuk mencari penyelesaian. Jangan kita hanya- selalunya cara KPDNHEP adalah menguatkuasa. Menguatkuasa, selepas itu ia tidak- selalunya menekan petani-petani yang kecil yang sudah tertekan dengan kenaikan harga input. Akan tetapi akhirnya yang menjadi mangsa selalunya petani. Jadi kita harus lihat the entire supply chain. Butiran 020400 – Penguatkuasaan. Saya ingin bangkitkan daripada segi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kita tahu bahawa rakyat Malaysia selalu dan tiap- tiap hari kita menerima scam call. Ada yang call daripada mahkamah, ada yang call dari bank, ada yang hendak jual ini dan hendak jual itu, call hari-hari, termasuk Tuan Pengerusi juga. Betul, Tuan Pengerusi?
[Ketawa]
Akan tetapi kita tidak nampak ada apa-apa penguatkuasaan. Ini di bawah SSM. Sebenarnya kita ini menjadi mangsa dan banyak masa dibazirkan. Jadi apa yang dibuat- kita hendak tahu bahawa ada kelemahan dari segi Akta Kepenggunaan. Contohnya, ini hanya scam yang kecil, scam yang besar contohnya
ialah money game, JJPTR dan juga MBI dan sebagainya yang mana rakyat Malaysia ratusan ribu yang telah rugi beratus juta, bilion ringgit. Akan tetapi akta tidak dilengkapkan untuk menyekat money game, ponzi scheme. Jadi harap kementerian ambil maklum. Butiran 020600 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Saya harap bahawa kementerian menjalankan siasatan terhadap amalan yang tidak sihat seperti monopoli dan juga direct negotiation. Bukan sahaja di private sector tetapi juga di dalam kerajaan. Kita tahu bahawa semasa Kerajaan PH dalam usaha untuk membuka kontrak kerajaan secara open tender, tetapi sekarang kita nampak bahawa trend kembali kepada direct negotiation. Jadi ini menyebabkan harga dan kerugian kepada pihak kerajaan. Contohnya baru-baru ini saya bangkitkan tentang isu pembekalan dan juga kereta fleet kerajaan dan juga maintenance yang melibatkan RM4.6 bilion selama 15 tahun yang diberikan secara direct negotiation kepada kerajaan, tetapi ini hanya tip of the iceberg. Ada lagi seperti Pharmaniaga dan BERNAS yang mana monopoli yang menyebabkan kos dan kerugian kepada kerajaan dan juga rakyat. Jadi ini menyebabkan harga barang naik.
Jadi, saya harap bahawa MyCC ini betul-betul menjalankan tugas menyekat direct negotiation monopoli dalam entire supply chain supaya rakyat terbela dari segi ini. Akhir sekali, Butiran 041100 – Kempen Beli Barangan Malaysia. Kita selalu dengar tentang Kempen Beli Barangan Malaysia tetapi isunya adalah itu setakat sloganeering ya, dia tidak ada substantif punya – saya minta supaya kementerian adakan lebih program yang lebih substantif. Kita tahu bahawa sekarang, Malaysia adalah part of the global supply chain. Banyak barang walaupun dia made in China or made in US or made in Bangladesh, dia adalah part and parcel. Kita Malaysia merupakan part of the supply chain. Jadi, kementerian kena educate. Contohnya, iPhone di sini ya, dia design in California, made in China tetapi banyak komponen dia datang dari Bayan Baru, electronic component datang dari Bayan Baru. Kalau boleh, KPDNHEP tolong mencerahkan, memberi pencerahan kepada rakyat supaya apabila mereka beli, dia tahu bahawa okey antara iPhone dengan Samsung, mana satu lebih komponen Malaysia? Then you know we can support kalau dia iPhone lebih banyak, kita harap boleh beli iPhone ya contoh macam itu. Sebagai contoh. Jadi, itu adalah saya rasa kena ada kempen yang lebih substantif itu sahaja. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru. Yang Berhormat Sik, silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus kepada Butiran 020300 – Penguatkuasaan. Pertamanya saya ingin membangkitkan hal yang berkaitan pembelian online yang sangat popular pada hari ini. Saya mencadangkan perlu diwujudkan satu garis panduan yang mengawal pelan-pelan baharu yang bercanggah dengan konsep kepenggunaan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, program pembelian yang menggalakkan pembeli berhutang boleh menyebabkan rakyat terpedaya sehingga membebankan urusan pembayaran kelak. Begitu juga dalam hal yang melibatkan kegiatan gig ekonomi yang melibatkan pembayaran menerusi talian di bawah seliaan sesebuah syarikat. Pihak kementerian harus meneliti kadar deposit bagi pengusaha kedai yang ditetapkan oleh syarikat pengelola aplikasi dalam talian tersebut supaya tidak membebankan pengusaha kecil yang baharu bernafas selepas pandemik melanda. Begitu juga penguatkuasaan kepada syarikat yang mengendalikan aplikasi tersebut berapakah tempoh yang dibenarkan bagi mereka menyimpan jumlah pembayaran yang perlu diagihkan semula kepada pengusaha kedai. Hal ini kerana
pengusaha kedai memerlukan semula hasil pembayaran pelanggan bagi tujuan modal pusingan harian mereka. Maka, sekiranya tempoh pengagihan semula kepada pengusaha kedai mengambil tempoh yang lama iaitu melebihi tiga hari dikhuatiri akan menjejaskan operasi harian mereka. Pengusaha kedai akan tertekan dengan kelewatan pembayaran semula daripada pengusahaan aplikasi makanan dalam talian yang kadang-kadang berlanjutan sehingga tujuh hari. Seterusnya Butiran 030100 – Gerakan Kepenggunaan. Tidak dapat dinafikan gerakan kepenggunaan begitu penting kepada masyarakat terutama sekali kepada golongan belia. Ini kerana pendidikan pengguna merupakan suatu bidang yang mencukupi soal kehidupan manusia. Setiap orang tidak akan terlepas untuk menjadi pengguna dan ia seharusnya memiliki perspektif pengguna yang baik dan bersifat lestari. Perkara ini penting disebabkan gaya hidup pengguna yang sedang berkembang ini nampaknya tidak sangat memikirkan persoalan lestari dalam amalan pengguna. Kita lebih terdedah kepada soal pembaziran, mengeksploitasi sumber, kegagalan pengurusan sumber eksploitasi pasaran untuk keuntungan semata-mata dan pelbagai lagi isu pengguna yang wujud pada hari ini. Mohon kementerian menyatakan telah berapa banyak program gerakan kepenggunaan yang telah dilaksanakan khususnya di peringkat sekolah, di peringkat masyarakat desa dan IPT tempatan. Apakah juga akan dilaksanakan gerakan kepenggunaan di masjid-masjid yang telah pun mempunyai jemaah ataupun komuniti masyarakat setempat yang boleh dimanfaatkan mekanisme penggunaan masjid ini. Begitu juga seterusnya saya membangkitkan Butiran 040300 – Emolumen Pegawai Pemantau Harga (PPH). Lantikan anggota bagi menjalankan pemeriksaan pemantauan harga barang kawalan sepanjang skim harga maksimum musim perayaan. Jumlah yang diperuntukkan agak besar iaitu RM41 juta. Soalan saya, bagaimanakah kementerian menyelaraskan pembayaran emolumen kepada para pegawai yang mempunyai latihan serta banyak pengalaman dalam bidang penguatkuasaan dan pemantauan harga barangan kerana mereka masih kekal berstatus kontrak? Terakhir, Butiran 040500 – Program Pengedaran Barang Perlu (LPG) dan Community Drumming. Kerajaan menanggung kerugian hampir RM1.717 bilion dalam tempoh dua tahun akibat penggunaan silinder LPG bersubsidi oleh pengguna bukan daripada golongan sasar. Rumusan Laporan Ketua Audit Negara tahun 2018 mendapati antara faktor utama kerugian itu ditanggung adalah disebabkan kelemahan dalam pemantauan dan penguatkuasaan. Kerugian ditanggung itu adalah dari tahun 2015 hingga tahun 2017. Antara kelemahan adalah aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan adalah pelantikan pembekal LPG oleh perbendaharaan tidak membabitkan sebarang perjanjian atau proses serta kaedah pembayaran subsidi dari kerajaan kepada syarikat berkenaan. Soalan saya apakah kriteria yang melayakkan pembekal tersebut dilantik memandangkan tiada polisi yang jelas dalam hal ini. Tuan Pengerusi, sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sik. Yang Berhormat Selayang, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Butiran 020600 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Saya setuju dengan kenaikan bajet kepada MyCC sehingga RM10 juta. Saya merujuk dan mengucapkan tahniah kepada MyCC yang telah menerbitkan kajian semula pasaran sektor pengangkutan di Malaysia pada 5 Oktober dan juga kajian pasaran MyCC bersama dengan OECD bertajuk OECD Competition Assessment Review Logistic Sector in Malaysia.
Kajian pasaran ini telah mendapati sejumlah 15 isu dalam ekosistem logistik pelaburan dan empat isu dalam warranty kenderaan bermotor yang terdiri daripada isu persaingan, isu yang didorong oleh pasaran dan isu pengawalseliaan di dalam sektor tersebut. Isu-isu yang didapati dalam laporan menimbulkan kesulitan di beberapa bidang dan tindakan segera perlu dilaksanakan bagi mengatasi cabaran-cabaran itu. MyCC telah mengusulkan lebih daripada 30 cadangan untuk mengatasi isu-isu serta memperbaiki situasi dalam pasaran yang dikaji. Antaranya pertama ialah bagi MyCC menggunakan kuasa penguat kuasa untuk menentukan sama ada berlakunya kartel dalam penetapan land site charges, shipping liner charges, depot gate charges dan fuel adjustment factor. Kedua, ialah mengubah dasar dalam perjanjian konsesi bagi operator pelaburan. Ketiga, ialah menyelesaikan masalah pengawal selia dan isu yang didorong oleh pasaran yang berkaitan dengan prosedur custom, rangka pengawal seliaan, pelaksanaan dan juga memberikan kuasa kawalan penggabungan dan pengambilan kepada MyCC. Mesej utama kajian-kajian ini ialah persaingan usaha adalah satu faktor penting di dalam menjalankan roda berekonomi satu negara. Persaingan dapat mempengaruhi kebaikan perdagangan industri iklim usaha yang kondusif, kepastian dan kesempatan berusaha efficiency, kepentingan umum, kesejahteraan rakyat dan sebagainya. Soalan pertama saya ialah sama ada kementerian akan memberikan dorongan dan menerima syor yang telah diberikan oleh MyCC untuk mengambil tindakan penguat kuasa terhadap operator pelabuhan dan mereka yang terlibat di dalam aktiviti anti persaingan berkaitan caj tanah, caj perkapalan, caj depot dan seperti yang disyorkan dalam kajian tersebut. Soalan kedua ialah sama ada kerajaan juga akan menerima syor kajian bahawa perjanjian konsesi mesti mengadakan satu kaedah di mana operator tidak akan menyalahgunakan kuasa untuk mengadakan monopoli atau menyalahgunakan kedudukan dominan mereka dan mengadakan klausa-klausa untuk melindungi consumer.
Soalan yang ketiga ialah adakah kerajaan akan menerima syor kajian bahawa syarat yang memerlukan freight forwarders untuk mengadakan pegangan saham bumiputera 51 peratus tidak akan dilaksanakan kerana syarat ini akan menimbulkan amalan kesan antipersaingan yang menjejaskan sektor ini. Ini adalah sebab dengan syarat ini mereka yang berniat untuk memasuki akan menghadapi satu halangan dan tidak dapat memasuki sektor ini oleh sebab syarat untuk mengadakan 51 peratus pegangan saham bumiputera. Sekian ucapan saya. Saya ucapkan terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Selayang. Akhir sekali Yang Berhormat Hang Tuah Jaya.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi. Perkara pertama yang ingin saya bangkitkan ialah berkait tentang Butiran 050300, iaitu one-off program jualan Malaysia sebanyak RM10 juta. Saya ingin tanya kepada Timbalan Menteri, apakah rasional peruntukkan sebanyak RM10 juta ini kerana mengikut laporan berita yang kita baca, untuk tahun 2019 jualan hasil daripada program ini adalah sebanyak RM2.87 bilion. Pada 2020, RM3.3 bilion. Jadi, kalau jumlah jualan sebanyak ini, apakah munasabah untuk kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menjayakan program ini kerana pada saya boleh dibuat kerjasama dengan kerajaan dan juga penjual-penjual ini supaya wang sebanyak RM10 juta itu tidak dibazirkan. Kedua ialah berkait tentang Butiran 040300 – Emolumen Pegawai Pemantau Harga (PPH). Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Menteri, kalau kita baca penyata belanja tahun 2020, anggarannya ialah RM45 juta. Akan tetapi kita belanja sebenar itu RM36.4 juta. Ada lebih kurang balance ataupun baki sebanyak RM9 juta yang tidak dibelanjakan.
Tahun ini atau tahun hadapan diperuntukkan ataupun anggarannya RM41 juta. Saya pernah tanyakan soalan ini kepada kementerian dan telah pun dijawab oleh Timbalan Menteri iaitu selain daripada kita memberikan emolumen kepada pegawai untuk memantau harga, di sana terdapat keperluan untuk membangunkan secara pintar. Apakah peruntukan yang sebesar ini boleh dijimatkan untuk kementerian membangunkan aplikasi pintar agar mana-mana pengguna yang mendapati harga-harga barang itu dinaikkan melampaui kemunasabahan. Itu boleh terus dilaporkan kerana saya ingin menarik perhatian Timbalan Menteri kepada laporan yang telah pun dibentangkan di Bank Dunia yang bertajuk Aspirations Unfulfilled: Malaysia’s Cost of Living Challenges, dengan izin Tuan Pengerusi. Dalam artikel ini ataupun dalam laporan ini telah pun dinyatakan bahawa antara perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah untuk memperkasakan sistem perlindungan pengguna. Jadi, yang ini saya percaya hubungan antara pengguna dengan kementerian sewajarnya tiada batas-batas birokrasi. Harus terus ada keupayaan untuk membuat laporan sekiranya terdapat harga-harga yang tidak munasabah. Seterusnya, Tuan Pengerusi ialah berkait tentang Butiran 04004 – Pembangunan Keusahawanan: Pembangunan Francais. Dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan Tahun 2022 ini, diperuntukkan sebanyak RM18 juta untuk kos keseluruhan pembangunan keusahawanan francais ini. Akan tetapi kalau kita teliti penyata kewangan tahun 2020, kos keseluruhan program pembangunan keusahawanan francais ini dinyatakan RM22.45 juta. Jadi, ada perbezaan yang ketara iaitu sebanyak lebih kurang RM4 juta. Saya ingin tahu kenapakah berlaku discrepancy ini dan apakah sebenarnya hala tuju program ini setakat ini dan apakah ada cerita-cerita kejayaan yang boleh dikongsi? Apakah bumiputera kita banyak mendapat manfaat daripada program pembangunan keusahawanan francais ini? Seterusnya Tuan Pengerusi, berkait tentang gerakan kepenggunaan iaitu Butiran 030100. Kalau kita lihat Anggaran Perbelanjaan Persekutuan ini dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, bab gerakan penggunaan ini diwujudkan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna melalui pembangunan gerakan kepenggunaan, latihan dan juga pendidikan kepenggunaan. Untuk tahun 2022, anggaran ialah RM6.2 juta. Tahun 2020, kita lihat perbelanjaan sebenar RM5.9 juta. Saya ingin tanya apakah program yang telah pun dicerakinkan dalam gerakan kepenggunaan ini? Bagaimana Ahli-ahli Parlimen misalnya boleh memainkan peranan dalam menjayakan program kepenggunaan ini secara bersama dengan kementerian kerana kita tahu bahawa tadi saya senada dengan Ahli-ahli Parlimen lain yang telah membangkitkan secara serius sebenarnya Yang Berhormat Timbalan Menteri tentang harga barang ini. Jangan kita pandang rendah. Jangan kita anggap ini perkara yang remeh kerana saya percaya bahawa barang naik rakyat ‘terjepuk’ tidak dibantu, pasti melarat. Jangan seronok Timbalan Menteri di kerusi empuk. Turun padang segera bantu rakyat. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Hang Tuah Jaya. Dengan itu tamatlah perbahasan di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Saya kini menjemput Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab. Masa 20 minit Yang Berhormat.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi rabbil alamin wabihi nasta'in, wassalatu wassalamu... [Bercakap dalam bahasa Arab] Terima kasih Tuan Pengerusi. Terima kasih sahabat-sahabat Ahli-ahli Yang Berhormat seramai 17 orang yang mengambil bahagian, yang cukup prihatin, cakna dan juga ambil berat tentang hal ehwal berkaitan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Tuan Pengerusi, sewajarnya dengan masa yang diberi
kepada saya selama 20 minit tidak sempat untuk menjawab satu persatu apa yang telah dibangkitkan oleh sahabat-sahabat sekalian. Walau bagaimanapun saya cuba untuk buat yang terbaik dan mana-mana yang tidak sempat saya janji untuk menjawabnya dalam bentuk tulisan, insya-Allah. Tuan Pengerusi dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Yang Berhormat Jempol tidak ada? Tidak ada tak boleh jawab.
Bertulis, ya.
Yang Berhormat Jempol tidak ada. Kedua, sahabat saya Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Terima kasih kerana masih setia, yang memberi beberapa cadangan dan juga pandangan yang saya rasa cukup positif untuk memantapkan lagi kementerian ini yang mana mencadangkan supaya diadakan– mencadangkan diperkenalkan sistem dua tier ataupun dua peringkat bagi minyak masak. Ini satu cadangan yang baik yang mana kita sebenarnya mengkaji, telah memulakan kajian untuk mengoptimumkan program subsidi di bawah kementerian ini. Di samping itu, tumpuan adalah diberi bagi memastikan barangan bersubsidi diagih secara efisien kepada golongan sasar dan kita berusaha untuk seberapa daya mengurangkan ketirisan. Walaupun ia saya rasa agak mustahil tetapi kita akan cuba sedaya mungkin untuk mengurangkan ketirisan. Seterusnya, cadangan dua peringkat harga turut dikaji dalam kajian ini kerana ia mempunyai potensi yang cukup baik. Namun, perhatian juga diberi untuk syarikat-syarikat atau pengilang minyak masak yang tidak mengeksport barangan mereka ke luar negara. Berkaitan dengan paten. Pihak KPDNHEP sedia melihat bagaimana perkara ini diperhalusi dan saya sangat setuju dengan apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu kerana ramai sahabat kita yang profesor dan juga penyelidik- penyelidik universiti, mereka terkilan dengan peraturan yang wujud. Jadi kita harap ia akan dapat diselesaikan kerana banyak -perkara ataupun input- input ataupun inovasi-inovasi baharu yang mereka cipta tetapi mereka tidak boleh paten kerana kekangan ini. Jadi, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Kemudian, yang ketiga Yang Berhormat Bukit Bendera. Ada Yang Berhormat Bukit Bendera?
Ada.
Terima kasih Yang Berhormat. Berkaitan dengan kos sara hidup, penstabilan harga minyak, program pengedaran LPG dan Community Drumming dan MyIPO. Jawapannya ialah KPDNHEP sedia bekerjasama dengan kementerian dan jabatan yang berkaitan untuk menangani isu selaras dengan peruntukkan di bawah akta kementerian. Untuk makluman Tuan Pengerusi, saya juga ada menerima berkaitan dengan kenaikan harga sayur yang mana ia dikatakan sehingga 200 peratus.
Akan tetapi hasil daripada siasatan kita mendapati bahawa apabila kita tanya, di mana ia berlaku? Tidak ada. Ini Tuan Pengerusi, dikatakan bahawa kubis bunga meningkat daripada RM7 menjadi RM16. Kemudian sawi pendek meningkat daripada RM3 menjadi RM9. Apabila pegawai-pegawai penguat kuasa kita ke lapangan untuk melihat dan meninjau apa yang dimaklumkan. Saya difahamkan maklumat ini diterima daripada CAP. Jadi, apabila ditanya CAP, mereka tidak boleh tentukan di mana. Cuma mereka kata, just hear-say. Kajian daripada pegawai kita mendapati ada kenaikan tetapi tidaklah setinggi ini. Oleh sebab itu, saya menyeru kepada seluruh pengguna di seluruh negara apabila ada sahaja kenaikan yang mendadak, maklum kepada kita sebab kita ada Ez ADU, direct online. Kita ada pegawai pemantau harga, kita ada pegawai-pegawai di pejabat serata negeri untuk memantau secepat mungkin. Oleh sebab semuanya ini bukan sahaja rakyat
terkesan, kita pun terkesan. Kita pun ada saudara mara, adik-beradik yang terkesan dengan benda ini. Oleh sebab itu, kita mintalah tolong sangat-sangat kepada rakyat di luar sana, ada kenaikan yang sebegini, insya-Allah, kita cuba ambil tindakan kalau ia mengambil keuntungan yang berlebihan. Kita pun ada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Saya rasa menjawab Yang Berhormat Bukit Bendera. Kemudian kita juga— di samping kita tengok harga, kementerian kita juga cukup sensitif dengan keberadaan barang. Kita bimbang kalau-kalau barang ini murah tetapi tidak ada, itu kebimbangan kita. Oleh kerana itu, isu yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat sebentar tadi berkaitan dengan minyak satu kilo yang sukar sangat didapati. Dalam makluman kita, isunya ialah kerana— saya berterus terang di sini kerana bayaran kepada re-packer ini agak lambat. Mereka yang ada cash flow yang sedikit hampir tutup kilang-kilang mereka. Akan tetapi alhamdulillah, kita sudah terima duit peruntukan daripada MOF dan kita sudah selesaikan. Insya-Allah, ia akan diselesaikan dalam minggu ini untuk mereka yang menjadi re-packer ini. Jadi, kasihan kepada mereka. Di samping itu juga Tuan Pengerusi, kita juga amat memahami apa yang dirasakan berkaitan dengan harga roti. Saya pun dapat maklumat berkaitan harga roti Gardenia yang dikatakan akan naik bermula pada 1 Disember. Kita sedang siasat sama ada betul atau tidak. Sehingga hari ini, mereka tidak memaklumkan kepada kementerian untuk hendak menaikkan harga tersebut. Itu untuk makluman Dewan yang mulia ini Tuan Pengerusi. Kemudian yang ke seterusnya, keempat Yang Berhormat Kuala Krai. Yang Berhormat Kuala Krai ada? Tidak ada, kita skip. Yang Berhormat Setiu? Tidak ada juga? Balik juga? Yang Berhormat Tebrau? [Disampuk] Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Yang Berhormat Tebrau berkaitan dengan SSM. Kita juga menerima aduan betapa payahnya company secretary untuk hendak menghantar borang ataupun permohonan mereka dengan masalah kena hantar secara fizikal, kemudian hantar secara hard copy. Jadi ini, dalam masa sekarang ini memang tidak wajar. Jadi saya mengambil apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Tebrau untuk pembaikan dan untuk kita tambah lagi nilai agar ia selari dengan ease of doing business.
Okey, boleh saya tambah atau celah sedikit?
Sila, sila.
Oleh kerana sudah lama kita guna pemfailan, dokumen melalui secara atas talian tetapi masih tidak sempurnalah. Mengapa separuh boleh naik tetapi separuh masih kena fizikal lagi? Jadi, saya harap ini bertambah baiklah supaya akan memudahkan kerja-kerja setiausaha korporat. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Memang kita tahu benda tersebut dan kita berusaha untuk memastikan ease of doing business, memudahkan. Oleh sebab ini juga satu pendapatan untuk negara walaupun tidak disebut dalam mana-mana bahagian dalam ini, saya respons Tuan Pengerusi. Kemudian berkaitan dengan Yang Berhormat Pasir Gudang. Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang. Satu pandangan yang bagus, yang bernas atas konsep Keluarga Malaysia supaya kita bantu-membantu untuk memastikan negara yang kita cintai ini akan terus— sebab apa yang saya katakan tadi, bahawa kenaikan harga barang semuanya akan terasa. Jadi, kita bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat berhubung dengan perjawatan. Perkara ini akan kita lihat untuk memastikan bahawa apa yang dicadangkan tadi dapat kita bincang, dapat duduk semeja untuk memastikan segala masalah yang berkaitan dengan kementerian kita ini akan dapat diselesaikan. Kemudian berkaitan Yang Berhormat Tumpat. Tidak ada?
Yang Berhormat Tumpat tidak ada.
Kalau Yang Berhormat Tumpat tidak ada, Yang Berhormat Kulim sudah selesai, Yang Berhormat Bukit Bendera sudah selesai. Yang Berhormat Jempol, Yang Berhormat Rasah. Ini sahabat lama saya. Terima kasih Yang Berhormat Rasah masih setia. Pembangunan infrastruktur asas, kenapa RM53.35 juta? Jawapannya ialah bajet ini ialah untuk menaik taraf dan kelulusan integrated enforcement and management system iaitu bernilai RM3.5 juta. Kemudian peralatan piawaian timbang dan sukat di bawah Akta Timbang dan Sukat 1967 iaitu RM10 juta dan RM40 juta sewaan bangunan pejabat. Ini kerana untuk makluman Yang Berhormat, kita bukan sahaja kawal harga, keadaan barang atau berat barang, kita juga check alat timbang sukat yang berada dalam market untuk pastikan tidak ada penipuan berkaitan dengan alat timbang sukat ini Tuan Pengerusi. Ini kerana kita dapati bahawa banyak berlaku penyelewengan terutamanya yang dapat kita kesan ialah daripada segi jual beli buah kelapa sawit. Jadi ini kita ambil perhatian berat untuk pastikan ia tidak lagi berlaku penipuan kepada peladang-peladang sawit ataupun penjual-penjual sawit kerana harga sawit sekarang ini agak baik. Kemudian Yang Berhormat Rasah juga bertanya berkaitan dengan emolumen pegawai pemantau harga. Pegawai pemantau harga tugasnya ialah melaksanakan program pematuhan harga yang merangkumi pemantauan dan kutipan harga 480 barang keperluan pengguna di lebih 1,500 buah premis setiap hari tugasnya. Keduanya, menganalisis dan menyediakan laporan price alert dan dashboard untuk 10 item terpilih dan menganalisis harga-harga barang lain. Ketiga, perkhidmatan pegawai pemantau harga ini iaitu seramai 1,008 orang yang masih berkhidmat dan dilanjutkan sehingga tahun 2022. Ini suatu berita baiklah untuk mereka walaupun mereka ini pekerja kontrak. Sila Yang Berhormat Rasah.
Terima kasih. Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan. Ya, memang pegawai pemantau harga itu penting. Cuma tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri ada kata 1,008 orang kontrak dilanjutkan sehingga tahun depan. Macam mana kriteria untuk pemilihan mereka dan juga kontrak itu year to year atau macam mana? Setiap tahun kah? Setiap dua tahun kah? Ataupun di kalangan mereka ada atau tidak yang lantikan tetap punya? Mohon berikan sedikit perincian. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Rasah, sahabat saya. Tuan Pengerusi, sebenarnya lantikan mereka memang dari tahun ke tahun dan ada sebahagian mereka diserap ke jawatan penguat kuasa. Malangnya saya pun terasa suatu yang cukup menyedihkan kerana ada di antara mereka ini yang berkhidmat sehingga 10 tahun, lebih 10 tahun. Jadi ini kita beri keutamaan. Walau bagaimanapun, untuk masuk ke jawatan tetap mereka perlu melalui proses yang digariskan oleh pihak JPA. Kemudian, Yang Berhormat Rasah juga bertanya tentang isu kos sara hidup. Isu kos sara hidup juga seperti mana yang saya nyatakan tadi, akan kita mengambil berat berkaitan dengan hal tersebut untuk pastikan ia kalau memang ada kenaikan, tetapi berada dalam keadaan kawalan kita. Kita juga— untuk makluman, ada yang bertanya tadi tentang NACCOL. Untuk makluman Dewan yang mulia, bahawa dahulu NACCOL ini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri. Akan tetapi bermula tahun ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bersetuju untuk menjadi Pengerusi NACCOL. Ini satu berita baiklah untuk menunjukkan betapa seriusnya kerajaan hendak mengatasi masalah kos sara hidup rakyat di negara kita. Kemudian Yang Berhormat Bachok. Yang Berhormat Bachok berkaitan KBBM. Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan TTPM. Okey, isu kos baja dan racun. Untuk makluman kita telah mengadakan— KPDNHEP bersama dengan MAFI telah mengadakan satu mesyuarat untuk meninjau tentang kenaikan harga racun dan juga harga baja yang mana ia dikatakan amat memberi kesan yang besar kepada hasil pertanian yang mana dengan kenaikan hasil tersebut, sebagaimana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Bukit Bendera, ia akan berkait dengan hasilnya itu. Jadi, kita telah
bercadang untuk melihat dan mengkaji mungkin sebahagian subsidi mungkin diberikan kepada mereka yang terlibat dengan acara tersebut.
Begitu juga halnya dengan kos harga makanan ataupun harga ayam dan juga keperluan. Kita telah mengadakan mesyuarat kelmarin bersama dengan MOF, MAFI dan juga KPDNHEP dan ada dicadangkan supaya diberi subsidi. Akan tetapi, pihak pemain industri mereka memohon untuk diberi soft loan. Pada dasarnya, untuk makluman Dewan yang mulia, pihak MOF telah bersetuju untuk memberi soft loan kepada pemain industri ini untuk mereka dikenakan kosong interest dan dikenakan juga moratorium selama enam bulan. Jadi, ini membantu mereka tetap tak nak subsidi. Ini satu benda yang boleh dipuji kepada pemain industri ini. Kemudian, KBBM. Saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Rasah tadi. Berkaitan dengan KBBM, barang Malaysia tetapi cetaknya di Bangladesh. Ini satu penemuan yang saya rasa cukup ironi yang berlaku dan saya harap ia tidak berulang lagi. Belilah barang Malaysia kita bangga kerana #barangmalaysia ia ini #barangbaikbarangkita. Kemudian seterusnya Yang Berhormat Permatang Pauh berkaitan dengan MyCC. Untuk makluman Yang Berhormat Permatang Pauh, saya minta maaf kerana tidak ada makluman jadi kita akan menjawab secara bertulis dengan apa yang ditanyakan. Jadi tidak ada masalah Yang Berhormat Permatang Pauh?
Saya serahkan laporan tersebut Yang Berhormat kerana memang agak jelas dan dibuat pada tahun 2019. Sebenarnya, kalau kita ambil kira agak menyeluruh tentang lima item. Jadi saya boleh serahkan kepada kementerian. Ini kerana sayang kalau kita tidak mengguna pakai saranan, terima kasih...
[Bangun] Saya mungkin boleh mencelah sedikit Yang Berhormat Timbalan Menteri...
Okey, terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya mengalu-alukan. Sila Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Saya mungkin boleh mencelah sedikit Yang Berhormat Timbalan Menteri. Kajian itu dibuat oleh MyCC ketika saya mengetuai kementerian dan dibentangkan dan dilaporkan secara meluas. Bahkan sebenarnya MyCC mempunyai satu pasukan pegawai-pegawai muda yang sangat talented, sangat berdedikasi dan mempunyai kualiti kerja yang sangat membanggakan. Seperti yang sahabat saya Yang Berhormat Selayang dan Yang Berhormat Permatang Pauh bangkitkan. Hasil kajian mereka itu sebenarnya adalah hasil kajian yang sangat mempengaruhi polisi. Jika kerajaan mempunyai political will termasuklah dalam soal monopoli sebenarnya. Jadi – tetapi kajian itu akan hanya – dapatan mereka akan hanya kekal di situ jika sekiranya tidak ada political will untuk melaksanakannya. Syor dan dapatan mereka itu sangat-sangat pada saya mempunyai kesan besar yang boleh mempengaruhi satu pembentukan dasar di bawah kementerian. Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Kulim- Bandar Baharu. Ini satu pencapaian yang bagus dan insya-Allah sebagaimana yang dikatakan tadi bahawa ini kajian dibuat dan saya juga difahamkan baru-baru ini ada pembentangan mengenai kajian tersebut. Kita harap kajian tersebut akan digunakan oleh pihak yang berkaitan untuk melihat secara menyeluruh, secara holistik ke mana arah tuju agar tidak lagi berlaku kartel dan juga monopoli dekat mana-mana projek ataupun pembidaan dan juga perancangan yang dibuat oleh kerajaan. Seterusnya Yang Berhormat Sik, terima kasih Yang Berhormat Sik.
[Bangun] Yang Berhormat Timbalan Menteri, sikit lagi Yang Berhormat kerana Tuan Pengerusi saya bangkitkan juga isu bahan makanan iaitu dedak yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan. Selalunya
mereka rungut isu lesen. Kadangkala mendapatkan lesen bagi kelulusan untuk dijual dalaman agak sukar berbanding dengan apa yang sedia ada menerusi import. Saya harap Yang Berhormat dapat Yang Berhormat dapat memastikan ada usaha ke arah ini, memudahkan lagi laluan bagi mereka menghasilkan dedak tempatan. So that it’s internally is supportive. Memang perlu ada penanda aras yang tertentu, kawalan kualiti, tetapi untuk jangka masa sederhana dan panjang supaya kita tidak bergantung kepada kenaikan harga import dan kos-kos lain yang sudah tentu akan membebankan kita sementara kita ambil kira penggunaan subsidi bagi short-term. Mohon Yang Berhormat.
Terima kasih. Satu cadangan yang baik. Kita hendak ada self-sufficient sebenarnya kita ke arah itu untuk memastikan bahawa kita tidak bergantung kepada negara luar untuk makanan kita. Terima kasih. Yang Berhormat Sik, saya cuma tertarik dengan apa yang ditanya berkaitan dengan pelantikan pembekal LPG di bawah Program Barang Perlu LPG dan juga program Community Drumming. Untuk makluman Dewan yang mulia, dalam Program Pengedaran Barang Perlu LPG dan Community Drumming pihak transporter adalah dilantik secara tender untuk membuat pengedaran barang perlu dan ia diberi kepada pembekal yang berlesen untuk menghantar dan menjual kepada point of sales yang ditentukan. Kementerian telah membangunkan SOP bagi program ini dan kriteria pemilihan ia ialah sebagaimana saya katakan tadi secara tender bukan secara direct-nego. Saya tertarik juga dengan apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Sik supaya mengadakan program kepenggunaan dan hal-hal pendidikan pengguna ini di masjid-masjid ataupun di sekolah-sekolah. Jadi, itu satu cadangan yang bagus. Insya- Allah, kita ambil pendekatan untuk menyedarkan pengguna seluruh negara agar di mana sahaja rakyat kita berada kita mendapatkan mereka untuk memberi kesedaran terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan kepenggunaan online dan sebagainya. Yang Berhormat Dungun, ada? Yang Berhormat Dungun bertanya mengenai bekalan minyak masak subsidi sebagai mana yang dikatakan tadi iaitu kurang. Punca kekurangan ialah permintaan oleh rakyat dan situasi ekonomi selepas PKP. Kemudian harga minyak masak botol hari ini telah meningkat sehingga RM5,000 lebih harga CPO. Jadi, ini satu benda yang menjadi rebutan iaitu minyak paket ini. Ketiga memang kita akui berlaku ketirisan. Perancangan untuk pastikan bekalan mencukupi ialah; (i) meningkatkan kecekapan pengedaran dengan memastikan agihan kuota bertepatan dengan nisbah penduduk setiap negeri atau tempat; (ii) memastikan paket dihadkan kepada kumpulan sasar sahaja. Akan tetapi, ini sukar untuk dilaksanakan kerana setakat hari ini kita nampak orang yang tidak layak untuk membeli minyak satu paket ini pun mereka beli minyak tersebut kerana harganya murah berbanding dengan minyak yang tidak disubsidikan; dan (iii) meningkatkan penguatkuasaan. Tuan Pengerusi, saya rasa itu sahajalah apa yang ingin – sempat saya nyatakan dan jawab kepada soalan-soalan yang dibangkitkan. Minta maaf kepada Yang Berhormat Hang Tuah Jaya. Atau Hang Tuah Jaya nak jawapan juga? Hang Tuah Jaya masih setia. Last, Tuan Pengerusi.
Boleh, sila.
Yang Berhormat Hang Tuah Jaya sahabat saya. Apakah rasional PJM? PJM bertujuan untuk membantu memulihkan dan merancakkan industri peruncitan. Program Jualan Malaysia (PJM) akan diadakan secara kerjasama strategik dengan pemain-pemain industri dan ia memang terbukti cukup memberangsangkan serta cukup membantu terutamanya selepas pandemik COVID-19 yang kita alami sekarang. Alhamdulillah, tahun ini kementerian mendapat RM10 juta untuk program PJM ini. Saya rasa itu sahaja Tuan Pengerusi dan sahabat-sahabat sekalian. Terima kasih.
Yang Berhormat Menteri. Bayan Baru juga ada tanya beberapa soalan. Boleh tolong jawab atau tidak? Bayan Baru ada tanya beberapa soalan...
Ada. Akan tetapi, saya tidak sempat. Saya jawab secara bertulis.
Saya rasa Tuan Pengerusi pun berminat nak dengar tentang bagaimana kita boleh menghentikan scam call dan sebagainya.
Saya serahkan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri...
Yang Berhormat Bayan Baru sekejap. Ya sekejap Tuan Pengerusi. Bayan baru bertanya berkenaan teknik pengeluaran makanan input pertanian atau supply chain. Itukah?
Saya tanya tentang penguatkuasaan terhadap scam call…
Scammer?
Scammer dan juga money game dan juga JJPTR, Ponzi scheme dan sebagainya. Menteri Berkaitan scammer ini sebenarnya ia di bawah polis. Cuma, apa yang boleh kementerian lakukan ialah setiap rakyat sebelum berurusan dalam talian ataupun online pastikan ada sijil SSM BizTrust yang berdaftar. Masalah scammer ini mereka tidak berdaftar dengan SMM. Jadi, apabila mereka tidak berdaftar kita tidak dapat kesan di mana mereka berada. Oleh sebab itu, saya menyeru kepada seluruh pengguna, seluruh rakyat Malaysia supaya berurusan dalam online pastikan syarikat ataupun company online tersebut mempunyai SSM BizTrust. Ini kerana, apabila ada SSM BizTrust, ia dijamin ia tidak ada penipuan. Itu saya boleh jawab apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Bayan Baru. Terima kasih. Terima kasih Tuan Pengerusi. Sekian, wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Wasalamualaikum. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya petang ini ialah bahawa wang sejumlah RM1,094,676,700 untuk Kepala B.25 Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2022 jadi sebahagian daripada Jadual hendaklah disetujukan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala B.25 diperintah jadi sebahagian daripada Jadual]
Masalahnya ialah bahawa perbelanjaan di bawah Kepala P.25 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 hendaklah diluluskan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala P.25 jadi sebahagian daripada Anggaran Perbelanjaan] [Majlis mesyuarat bersidang semula] [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, Isnin, 29 November 2021. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 7.21 malam]
Kamar KhasSpecial Chamber
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Isu Kelambatan Dalam Pembayaran Kos Perjalanan dan Prosiding Peguam Sukarelawan Yayasan Guaman Kebangsaan (YBGK) Serta Mengkaji Semula Pembayaran Tuntutan Peguam YBGKSpecial Chamber
Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri. Tuan Yang di-Pertua, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) ini sudah diperbadankan pada 25 Januari 2011 hasil Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Mac 2010.
Skim Yayasan Bantuan Guaman ialah skim bantuan guaman komprehensif yang membiayai peguam untuk melakukan kerja bantuan guaman dalam perkara jenayah. Di bawah skim ini yang mula beroperasi pada April 2012, bantuan guaman percuma diberikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kemampuan kewangan mereka di balai polis, semasa perbicaraan reman dan apabila mereka didakwa di mahkamah. YBGK yang ditubuhkan pada tahun 2012 dengan dana khas daripada kerajaan sebanyak RM5 juta telah menjadi suatu medium kepada golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan bantuan guaman.
Namun, baru-baru ini peguam-peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan menghadapi situasi bayaran kos perjalanan dan prosiding tidak diterima mengikut tempoh waktu yang ditetapkan. Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam perlu proaktif dalam membiayai nasib peguam-peguam sukarelawan yang seharusnya dihargai.
Sehubungan dengan itu, saya ingin memohon agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengemukakan;
(i) carta peruntukan untuk YBGK sejak tahun 2012 hingga kini;
(ii) berapakah bilangan peguam dan kes yang telah menerima bayaran kos yang diperuntukkan untuk YBGK;
(iii) apakah SOP dan tempoh yang akan diselaraskan bagi menyalurkan bayaran kepada peguam YBGK;
(iv) adakah kementerian bersedia menyediakan dana tambahan untuk YBGK; dan
(v) adakah kementerian bercadang untuk menambah kos perjalanan dan prosiding untuk peguam YBGK memandangkan kos tersebut sama tanpa sebarang penambahan sejak tahun 2012.
Sekian, terima kasih atas kerjasama pihak Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Berhubung dengan soalan yang pertama iaitu berkenaan dengan carta peruntukan untuk YBGK sejak tahun 2012 sehingga kini – Bagi menampung pembayaran kepada perkhidmatan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) termasuk kos operasinya, YBGK telahpun mendapat peruntukan daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM56,089,200.00 dengan pecahan seperti yang berikut; Bermula pada tahun 2011, terdapat RM5 juta iaitu dana pelancaran.
Kemudian diikuti tahun 2012 sebanyak RM10 juta dana tambahan. Kemudian tahun 2015 sebanyak RM5 juta, tahun 2016 sebanyak RM5 juta dan tahun 2017 sebanyak RM3 juta yang ini daripada Kementerian Kewangan. Kemudian daripada Jabatan Perdana Menteri bermula daripada tahun 2018 sebanyak RM9 juta, kemudian tahun 2019 sebanyak RM4,989,200, pada tahun 2020 sebanyak RM9,100,000 dan bagi tahun 2021 sebanyak RM5 juta. Ini membawa kepada – daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM28 juta dan daripada Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM28,089,200.
Selain daripada itu, YBGK juga menerima sumbangan sebanyak RM200,000.00 bagi tahun 2011 daripada Majlis Peguam Malaysia. Berhubung dengan peruntukan kepada YBGK bagi tahun 2022, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7,000,000.00.
Berhubung dengan soalan Yang Berhormat iaitu soalan yang kedua, hingga 22 November 2021, bilangan peguam sivil yang telah pun berdaftar dengan YBGK adalah sebanyak 3,111 peguam manakala bilangan peguam syariah pula adalah sebanyak 173 peguam.
Walau bagaimanapun, bukan semua peguam yang berdaftar dengan YBGK ini aktif menjalankan perkhidmatan di bawah YBGK. Hanya 34 peratus sahaja daripada peguam berdaftar tersebut yang menjalankan perkhidmatan di bawah YBGK. Bilangan peguam yang aktif pada masa kini adalah seramai 1,073 daripada keseluruhan jumlah 3,111 orang dan mereka telah pun menerima bayaran daripada dana yang diperuntukkan kepada YBGK. Sebagaimana contoh di Melaka, daripada jumlah peguam yang berdaftar sebanyak 74 orang yang aktif hanya 20 orang. Di Johor 238 orang yang aktif hanya 87 orang dan di Pulau Pinang 211 orang yang berdaftar hanya 69 orang sahaja yang aktif.
Sejak penubuhan YBGK hingga Oktober 2021, sebanyak 1,632,330 kes jenayah telah pun diwakili oleh peguam YBGK bermula daripada penangkapan, pendengaran reman, pertuduhan dan perbicaraan di Mahkamah Jenayah sehinggalah ke peringkat rayuan. Pecahan bilangan akan saya sertakan nanti untuk makluman Yang Berhormat sebagaimana lampiran kedua. Berhubung dengan soalan yang ketiga Yang Berhormat, YBGK telah pun menetapkan prosedur pengemukaan tuntutan oleh peguam YBGK termasuklah kaedah bayaran kepada peguam YBGK di dalam Manual Bayaran Tuntutan Peguam Panel YBGK yang mana disebut sebagai ‘manual tersebut’ dan kadar bayaran adalah berbeza mengikut perkhidmatan yang telah pun dijalankan oleh peguam YBGK.
Berdasarkan manual tersebut, peguam YBGK hendaklah kemukakan tuntutan kepada pejabat YBGK di negeri masing-masing di mana perkhidmatan YBGK dijalankan oleh peguam tersebut selewat-lewatnya dalam masa tiga bulan daripada tarikh perkhidmatan peguam tersebut. Tuntutan yang melebihi tempoh masa tersebut tidak akan dilayan oleh pihak YBGK. Berhubung dengan tempoh masa pembayaran kepada peguam YBGK, tidak ada tempoh masa tertentu sebenarnya yang ditetapkan. Namun, lazimnya bayaran akan dibuat kepada pihak peguam YBGK dalam tempoh dua bulan selepas pihak Ibu Pejabat YBGK menerima tuntutan yang telah pun disemak dan dikumpulkan di pejabat YBGK negeri. Ibu Pejabat YBGK kemudian menjalankan proses penyemakan kali kedua selepas penyemakan oleh pejabat YBGK negeri dibuat.
Penyemakan secara terperinci dan juga maklumat yang diberikan haruslah lengkap dengan status kes, nombor kad pengenalan, nombor kes, mahkamah yang diwakili bagi perbicaraan serta dokumen-dokumen yang lengkap. Proses pembayaran bagi tuntutan peguam akan dimulakan selepas selesainya proses semakan tuntutan oleh pihak Ibu Pejabat YBGK. Nanti juga saya akan lampirkan juga carta perbatuan bagi proses tuntutan sebagaimana yang dibuat. Walau bagaimanapun Yang Berhormat, tempoh pembayaran bagi perkhidmatan peguam YBGK adalah tertakluk kepada faktor-faktor seperti ketersediaan dana semasa tuntutan dibuat dan juga isu pentadbiran sebagaimana yang berlaku iaitu kekosongan jawatan Pengurus YBGK. Faktor-faktor ini yang mengakibatkan kelewatan pembayaran kepada peguam YBGK yang melebihi tempoh masa dua bulan sebagaimana yang menjadi kelaziman.
Seterusnya, untuk menjawab soalan yang keempat iaitu adakah kementerian bersedia menjalankan dana tambahan untuk YBGK. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat, atas permohonan pihak pengurusan YBGK, Bahagian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah pun mengemukakan maklum balas seperti yang berikut;
(i) Jabatan Perdana Menteri akan menyalurkan peruntukan kepada YBGK berdasarkan keputusan yang ditetapkan oleh Perbendaharaan. Peruntukan tahunan disalurkan secara berkala bagi memastikan perbelanjaan yang dibuat adalah berhemah dan sentiasa memberikan nilai kepada negara sekali gus dapat menjamin YBGK menjalankan fungsi penubuhannya; dan
(ii) bagi tahun 2021, YBGK telah diperuntukkan sebanyak RM5 juta dan tambahan dana sedang diuruskan oleh Bahagian Kewangan, JPM berdasarkan permohonan yang telah pun dikemukakan. Justeru itu, JPM tiada
halangan untuk mempertimbangkan dan meneliti permohonan peruntukan tambahan sekiranya terdapat keperluan dengan menyemak silang prestasi perbelanjaan agensi yang sebenar.
Soalan yang terakhir berhubung soalan yang kelima, kenyataan bahawa tiada sebarang penambahan ke atas kadar bayaran bagi perkhidmatan peguam YBGK sejak tahun 2012 adalah kurang tepat. Hal ini kerana pada 1 Mei 2014, suatu kadar baharu telah pun diguna pakai merangkumi kadar bayaran bagi perkhidmatan tangkapan, pendengaran reman, permohonan jamin, mitigasi, perbicaraan di mahkamah dan juga penutupan kes yang lebih tinggi berbanding kadar bayaran sebelumnya. Jadual perbandingan kadar bayaran sebelum dan selepas 1 Mei 2014 adalah sebagaimana dalam lampiran yang akan saya serahkan. Dengan kenaikan kadar bayaran hampir 100 peratus pada ketika itu, ia telah menarik penyertaan peguam untuk berdaftar dengan YBGK daripada 697 peguam pada tahun 2012 hinggalah pada tahun 2014 kepada 1,313 orang peguam.
Seterusnya, semakan kadar bayaran tersebut telah dilaksanakan melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah YBGK setelah mempertimbangkan peruntukan sedia ada daripada Kementerian Kewangan pada ketika itu dan juga implikasi kewangan yang mungkin berlaku. Dari masa ke masa, kadar bayaran ini sentiasa disemak dalam mesyuarat yang dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah YBGK. Namun, selepas kenaikan kadar bayaran pada 1 Mei 2014 sehingga kini, tiada kenaikan kadar bayaran yang tinggi berlaku. Hal ini kerana tiada permohonan sedemikian dikemukakan kepada pihak YBGK memandangkan kadar sedia ada adalah berpatutan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh peguam dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang berada dalam pascapemulihan COVID-19.
Sebarang peningkatan kadar bayaran, sekiranya ada, akan mengakibatkan dana yang diperuntukkan kepada YBGK tidak dapat digunakan sebaiknya kepada golongan yang kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan guaman pada ketika ini. Terima kasih.
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Isu Kesalahan Jenayah: Kes Buli Zulfarhan Osman (UPNM)Special Chamber
Tuan Yang di-Pertua, merujuk kepada kes buli sehingga mengakibatkan kematian, kes penuntut dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain. Pada 2 November lalu, Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun kepada mereka yang didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan mangsa sehingga menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Persoalan yang boleh dibincangkan serta diketengahkan terkait isu ini adalah, apakah status semasa Lembaga Penyiasatan Khas berhubung kait kes Allahyarham Zulfarhan Osman? Saya difahamkan lembaga ini telah ditubuhkan sejak tahun 2017 oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Namun sehingga kini, tidak ada sebarang makluman atau laporan yang dikeluarkan oleh lembaga berkenaan mengenai hasil tinjauan siasatan kes tersebut.
Ramai memandang hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan nyawa yang terkorban. Kita perlu bersifat tegas terhadap hakikat kekejaman keganasan fizikal 90 tekapan seterika wap ke atas arwah. Justeru permohonan saya kepada kementerian;
(i) pindaan ke atas Kanun Keseksaan Akta 574 yang masih tidak cukup untuk melindungi mereka daripada dibuli dan didiskriminasi. Harus ada tindakan perundangan untuk menyelesaikan isu ini; dan
(ii) pengenalan Akta Antibuli bagi membendung kegiatan buli secara lebih serius sebagai jaminan untuk mencegah kematian juvana atau sebarang kematian lain yang tidak seharusnya berlaku.
Saya melihat terdapat keperluan yang mustahak untuk segera diperkenalkan Undang-undang Antibuli ini, selain daripada penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang lebih ketat. Selain itu, perlu juga mengambil langkah proaktif untuk membuat penilaian semula terhadap sistem latihan dan pengurusan pelatih di mana-mana Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).
Saya kira undang-undang negara kita masih mengambil pendekatan ‘lemah-lembut’ ataupun ‘ihsan simpati’ dalam menangani kes-kes jenayah tertentu. Kita juga sedia maklum bahawa asalnya insiden ini sepatutnya dilaporkan kepada pihak pengurusan universiti UPNM untuk membenarkan mereka menyiasat perkara sebenar yang berlaku. Justeru, UPNM juga perlu dipertanggungjawabkan disebabkan kegagalan pengurusan yang turut menyumbang kepada keadaan yang lebih buruk berlaku. Harus ditegaskan, kita tidak boleh terus bertolak ansur dengan keganasan dalam apa jua bentuk dan cara sekalipun. Terima kasih.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Permatang Pauh di atas keprihatinan Yang Berhormat membangkitkan isu buli yang telah berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang melibatkan Allahyarham Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Keprihatinan Yang Berhormat Permatang Pauh saya sanjung tinggi.
Sesungguhnya, isu ini memang isu yang menyedihkan, menyayat hati dan peristiwa yang berlaku itu amat dikesali sekali. Saya dan seluruh warga kementerian sesungguhnya kami amat berdukacita dan simpati dengan nasib yang telah menimpa Allahyarham Zulfarhan. Kami juga amat kesal dengan kejadian buli yang telah mengakibatkan kematian ini. Kami sesungguhnya akan berusaha untuk menambah baik peraturan sedia ada di UPNM bagi memastikan kejadian seperti ini tidak lagi akan berulang pada masa hadapan.
Malah sebagaimana Yang Berhormat juga sedia maklum, bagi kes Allahyarham Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain, 18 orang bekas pegawai kadet yang dituduh telah pun disabitkan kesalahan masing-masing dan telah pun dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November yang lalu.
Bagi isu Lembaga Penyiasatan Khas yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, saya ingin memaklumkan bahawa Lembaga Siasatan Khas berkenaan telah pun bersidang pada 15 Jun 2017.
Rentetan daripada keputusan lembaga, 90 peratus daripada pegawai dan jurulatih serta staff sokongan telah ditukarkan dengan jurulatih yang mempunyai kualiti kejurulatihan. Setiap pegawai dan anggota yang ditukarkan ke Akademi Latihan Ketenteraan untuk tugas jurulatih juga perlu melalui Panel Lembaga bagi memastikan mereka mempunyai instructor attributes yang dikehendaki.
ATM juga telah mengambil tindakan-tindakan drastik dalam memperkemaskan pentadbiran dan pengurusan Akademi Latihan Ketenteraan.
Antara tindakan yang diambil bagi menghalang kegiatan ini untuk tidak berulang lagi ialah;
(i) Akademi Latihan Ketenteraan distrukturkan semula daripada empat batalion yang setiapnya mempunyai 350 hingga 400 pegawai kadet kepada kumpulan yang lebih kecil iaitu lapan kompeni yang mempunyai 110 hingga 120 pegawai kadet di setiap kompeni;
(ii) bagi memudahkan pemantauan yang lebih rapi, jumlah jurulatih ditambah yang menjadikan nisbah jurulatih dan pegawai kadet dikecilkan dari nisbah 1 jurulatih untuk 30 pegawai kadet kepada nisbah 1 jurulatih kepada 15 pegawai kadet sahaja secara purata;
(iii) hukuman berat dan tindakan tegas sehingga boleh dilucutkan pelantikan sebagai pegawai kadet akan dikenakan jika terlibat dalam kes buli;
(iv) pemantauan yang lebih kerap oleh jurulatih;
(v) pemeriksaan mengejut secara fizikal dilakukan dari masa ke masa;
(vi) medium untuk mengemukakan sebarang aduan ataupun laporan kepada pihak pengurusan Akademi Latihan Ketenteraan oleh pegawai kadet telah diwujudkan. Ini bererti kalau ada sahaja berlaku mereka ada tempat yang untuk mereka membuat aduan;
(vii) semua jurulatih kini sentiasa diberikan peringatan untuk peka terhadap apa jua bentuk surat layang, laporan dan perkara-perkara seumpamanya untuk dibuat siasatan selanjutnya; dan
(viii) tindakan perasingan blok penginapan Pegawai Kadet Tahun 1 daripada pegawai kadet lain yang lebih senior.
Kalau dahulu semua duduk sekali, sekarang ini yang junior diasingkan. Ini pun Tuan Yang di-Pertua ini pun RMC, dia pun tahu [Ketawa] . Kes-kes buli ini dia cukup mahir. Harap- harap dia antara yang tidak meragging-lah. Alhamdulillah, maaf, Tuan Yang di-Pertua.
Alhamdulillah, suka saya memaklumkan selepas kejadian berkenaan dan setelah tindakan-tindakan susulan seperti di atas diambil, Yang Berhormat
Permatang Pauh kita haraplah tiada lagi kejadian-kejadian sedemikian didapati berulang.
Tuan Yang di-Pertua, berhubungan cadangan-cadangan Yang Berhormat Permatang Pauh untuk dibuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan pindaan ke atas Kanun Keseksaan Akta 574 bagi membendung kejadian buli dan diskriminasi, mungkin dengan memasukkan satu seksyen yang khusus bagi kesalahan buli atau menaikkan skala hukuman pada mana-mana seksyen yang sedia ada di dalam Kanun Keseksaan berkaitan dengan jenayah tubuh badan iaitu – jadi kami haraplah dengan ini akan dilihat sebagai satu lagi langkah wajar yang boleh dilaksanakan oleh pihak Jabatan Peguam Negara sekiranya dipersetujui kelak.
Selanjutnya bagi cadangan Yang Berhormat Permatang Pauh untuk mengadakan seksyen yang khusus berkaitan kesalahan buli, juga dilihat satu langkah yang baik dan proaktif. Namun begitu, setakat ini Kanun Keseksaan iaitu Akta 574 masih lagi relevan bagi mempertuduhkan dan mensabitkan atas mana- mana kesalahan yang ada hubung kaitnya dengan jenayah tubuh badan termasuk buli. Oleh itu, bagi kesalahan buli yang menjurus terhadap jenayah masih boleh dipertuduh di bawah seksyen-seksyen tertentu di bawah Akta 574. Sebagaimana Yang Berhormat nyatakan bagi kes buli ini, kesemua tertuduh telahpun disabitkan atas kesalahan dan dijatuhkan hukuman di bawah Kanun Keseksaan Akta 574.
Pandangan Yang Berhormat yang menyatakan ramai memandang hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan nyawa yang terkorban adalah satu pandangan – mungkin ini satu pandangan peribadi Yang Berhormat.
Bagi pihak kementerian pula, apa yang diputuskan oleh pihak mahkamah perlulah kita hormati dan menjadi pengajaran untuk masa akan datang untuk perkara seperti ini tidak akan berulang. Saya juga ingin memaklumkan sebelum kejadian buli tersebut, telah pun ada satu Perintah Tetap Pegawai Kadet dan Jurulatih UPNM untuk dipatuhi dan ada arahan berkaitan larangan melakukan perlakuan menganiaya, mendera dan memeras ugut.
Namun, kita kesal bahawa walaupun sudah wujud satu arahan jelas yang wajib dipatuhi oleh semua penuntut di Akademi Latihan Ketenteraan yang dikeluarkan oleh pihak Akademi Latihan Ketenteraan, ia masih tidak dipatuhi dan tertuduh lantas kini mereka telah pun menanggung akibat daripada kesalahan yang disabitkan di sisi perundangan.
Tuan Yang di-Pertua, suka saya tegaskan sekali lagi di sinilah. Pihak ATM mahupun Akademi Latihan Ketenteraan tidak sesekali berkompromi atau berlembut dengan mana-mana pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan dan juga staff yang didapati terlibat dalam kes buli. Buktinya, pihak ATM telah dan akan menyerahkan kepada pihak yang berkuasa terutama PDRM bagi mengambil tindakan susulan tanpa melindungi sesiapa sahaja yang terlibat. Malahan, sekiranya setelah ini masih didapati adanya individu-individu termasuk di kalangan pegawai atau anggota ATM, staff dan kakitangan Akademi Latihan Ketenteraan lain yang terlibat dalam kes buli sehingga menyebabkan kematian ke atas Pegawai Kadet Zulfarhan ini, pihak ATM akan sentiasa bekerjasama dengan pihak yang ber-authority bagi menegakkan keadilan. Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri Kanan Pertahanan. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga minggu hadapan Isnin, 29 November 2021, jam 2.30 petang. Terima kasih, Ahli-ahli Yang Berhormat.
[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 2.57 petang]