Dewan Rakyat · 29 November 2021
15th Parliament, session 4, meeting 2 · 543 turns · 40,804 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
(Pembukaan)
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-PertanyaanQuestions
1. Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah [Lenggong] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan prospek pelaksanaan inisiatif pendigitalan sektor peruncitan yang memfokuskan kawasan luar bandar bagi meningkatkan pendedahan kepada peniaga berhubung keperluan perniagaan berkonsepkan digital pada masa kini.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya, Yang Berhormat Lenggong. Tuan Yang di-Pertua, kementerian mengambil maklum berhubung keperluan perniagaan berkonsepkan digital masa kini, lebih-lebih lagi dalam suasana norma baharu akibat pandemik COVID-19. Peralihan perniagaan secara digital, terutamanya bagi peniaga-peniaga di kawasan luar bandar wajar diberi perhatian sepenuhnya supaya mereka tidak ketinggalan dalam mengembangkan perniagaan melalui teknologi terkini ini. Untuk makluman Dewan yang mulia ini dan Yang Berhormat Lenggong, kita telah melancarkan satu program yang dinamakan Retail Digitization Initiative (ReDI) untuk memfokuskan kawasan luar bandar. Dua buah tempat pelancaran telah kita laksanakan iaitu pada 30 Oktober yang lalu kita buat di Hulu Terengganu di Kuala Berang dan kelmarin 28 November kita buat di Kapit. Sambutannya cukup menggalakkan daripada pengguna, daripada peniaga dan juga daripada penyedia e-Wallet. Terima kasih.
Terima kasih. Silakan soalan tambahan pertama.
Tuan Yang di-Pertua, realiti waktu ini harga barang naik, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Memang naik dan pemantauan dan penguatkuasaan mesti dibuat segera kerana rakyat terkesan sangat dengan isu ini. Oleh sebab itu, elakkan kenyataan-kenyataan dari kerajaan yang menggusarkan rakyat. Saya hendak sebut bahawa apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri itu menunjukkan bahawa perniagaan digital ini penting. Ketika ini hanya dibuat di dua buah kawasan. Oleh sebab saya fikir, peniaga kecil dan mikro di luar bandar mesti digalakkan untuk terlibat dengan perniagaan digital ini. Tentunya kalau disusun dengan begitu baik dan sempurna, barangkali ia juga mampu untuk mengawal harga-harga barang ini dari tidak melambung tinggi. Oleh sebab itu, saya minta sejauh mana tahap penyertaan yang dibuat oleh kementerian? Apakah pihak kementerian ada perancangan untuk menggunakan kaedah dan pendekatan-pendekatan baru supaya kita mampu untuk menjaga kepentingan rakyat, terutama ketika sukar ini? Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya, Yang Berhormat Lenggong. Ya, kita akui apa yang dikatakan tadi bahawa kerana akibat cuaca, akibat pandemik dan akibat kekurangan buruh, itu diberikan alasan kerana kenaikan harga barang dan ini tidak berkait dengan soalan ini. Akan tetapi walau bagaimanapun, saya menyokong apa yang dikatakan oleh sahabat saya tadi, Yang Berhormat Lenggong bahawa kita sebenarnya amat serius dalam melaksanakan Program Retail Digitization Initiative ini. Akan tetapi realiti di sana, kita ada masalah ataupun kekangan kerana ia melibatkan beberapa pihak. Pihak yang pertama, pihak PBT. Jadi, kalau Yang Berhormat Lenggong, saya yakin selepas ini kita berkembang ke Lenggong. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Program Retail Digitization Initiative (ReDI) ini, kita target melalui ReDI ini menjelang akhir tahun depan ialah 15,200 orang peniaga yang akan terlibat secara langsung. Ia perlu kerjasama daripada penyedia e- Wallet, daripada penjual, pengguna perlu dimaklumkan hal tersebut dan dalam masa yang sama ialah liputan internet dengan SKMM ataupun Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Jadi, gabungan semua pihak ini akan memastikan Retail Digitization Initiative (ReDI) akan dapat direalisasikan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Yang Berhormat Hulu Selangor, silakan. Maaf, Yang Berhormat Hulu Langat. [Ketawa]
Terima kasih. Banyak kali tertukar, selalu kena. Terima kasih. Yang Berhormat Timbalan Menteri, rakan seperjuangan saya sejak di bangku sekolah. Menurut Nurizah Husin dan rakan-rakan dalam e-Jurnal of Education 2021, dengan izin, kekangan keselamatan merupakan halangan utama dalam pembayaran digital dan keselamatan maklumat pengguna. Soalan saya, dalam melaksanakan Inisiatif Pendigitalan Peruncitan (ReDI), apa usaha kerajaan dalam menangani masalah keselamatan yang berisiko tinggi berlaku kepada pengguna- pengguna e-Wallet, khususnya di luar bandar? Terima kasih.
Terima kasih. Silakan, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya, satu soalan yang agak baik dan amat baiklah. Sebenarnya kita memberi advokasi dan juga taklimat dan nasihat serta panduan, bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada peniaga. Kita bekerjasama baik dengan penyedia-penyedia e-Wallet, yang mana saya yakin dan percaya penyedia-penyedia e-Wallet ini mempunyai etika tersendiri untuk tidak membocorkan maklumat yang mereka dapat. Lantaran itu, kita amat menyedari apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Hulu Langat tadi dan kita letakkan ia satu priority untuk pastikan sebarang maklumat yang terdapat dalam digitalization ini tidak dibocorkan ataupun mereka tahu bahawa apabila ia dibocorkan, maka tindakan tegas akan diambil. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
2. Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan kedudukan aduan-aduan para penghuni kondominium dan pangsapuri yang berjaya diselesaikan atau tidak diselesaikan oleh Pesuruhjaya Bangunan dari segi bilangan, jenis aduan dan perbadanan pengurusan yang bermasalah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Bukit Bintang atas pertanyaan yang dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, penguatkuasaan dan kawal selia skim strata seperti kondominium, pangsapuri dan sebagainya adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri (PBN), sepertimana tertakluk di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].
Penguatkuasaan dan kawal selia ini dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Bangunan dilantik oleh PBN berkenaan bagi sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan. Berdasarkan makluman yang diterima daripada 67 orang Pesuruhjaya Bangunan di seluruh negara, tidak termasuk Sabah dan Sarawak Yang Berhormat, sebanyak 19,911 aduan telah diterima bagi tahun 2020. Antara kategori aduan yang diterima adalah seperti berikut: (i) penyelenggaraan dan kerosakan bangunan; (ii) mesyuarat dan pemilihan badan pengurusan; (iii) pentadbiran dan pengurusan bangunan; dan (iv) isu kewangan. Daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima iaitu sebanyak 19,719 aduan, 99.04 peratus telah diselesaikan oleh pihak Pesuruhjaya Bangunan dan baki 192 aduan atau 0.96 peratus pula masih dalam pelbagai peringkat penyiasatan. Untuk makluman Yang Berhormat, semua 12 buah negeri tidak termasuk Sabah dan Sarawak mempunyai kes aduan seperti yang saya nyatakan di atas, lima buah negeri yang tertinggi mempunyai kes aduan ialah: |Bil| Negeri |Jumlah kes aduan| |--:|-------------------|---------------:| | 1|Selangor | 9185| | 2|Wilayah Persekutuan| 5362| | 3|Johor | 2215| | 4|Pulau Pinang | 2149| | 5|Negeri Sembilan | 274|<END_TABLE_MARKER> Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Timbalan Menteri, selepas Akta Pengurusan Strata yang dipinda pada tahun 2013 yang dikuatkuasakan pada tahun 2015, saya ingin tahu, berapakah jumlah kes yang didakwa di mahkamah dan mendapat award? Berapakah kes yang tidak mematuhi keputusan mahkamah? Apakah pula tindakan selanjutnya yang diambil oleh pihak berkuasa? Minta penjelasan. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Bukit Bintang. Sepertimana yang saya sebutkan tadi, keseluruhan kes di seluruh negara tidak termasuk Sabah dan Sarawak ialah 19,719 kes. Oleh kerana kes-kes ataupun aduan-aduan ini dikendalikan oleh pihak negeri-negeri, maka detil kepada kes-kes ini tidak dimiliki oleh kita dan KPKT sedang menyelaraskan untuk mendapatkan maklumat tentang kes-kes ini. Oleh sebab itulah kita hanya mendapat maklumat tentang kes-kes aduan ini ialah pada hujung tahun. Umpamanya untuk tahun 2021, kita belum dapat lagi, sedang kita mohon dari negeri-negeri. Inilah apabila berlakunya perbezaan antara Pusat dan negeri. Oleh sebab itulah kes yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi tidak ada dalam simpanan saya dan insya-Allah Yang Berhormat, saya akan buat secara bertulis untuk makluman dan pengetahuan Yang Berhormat. Terima kasih banyak.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri yang berikan jawapan yang cukup baik. Akan tetapi, tadi saya ada dengar Johor adalah negeri ketiga yang ada banyak masalah yang sedang diselesaikan. Jadi soalan saya adalah apa sebabnya yang buat masalah ini berulang walaupun peruntukan banyak sudah disalurkan atau kerajaan sudah membantu menyelesaikan, tetapi masih berulang.
Saya bagi satu contoh, di kawasan saya pun ada macam PPR sebab adalah kerana tidak cukup tanah. Jadi, kutipan daripada jabatan pengurusan tidak mencukupi untuk membuat kerja pembaikan, naiktarafkan atau penyelenggaraan yang diminta. Jadi kalau ini akan berlaku, jadi Kerajaan Persekutuan pada masa yang akan datang ia akan tambah peruntukan sahaja dan saya tidak nampak masalah ini akan diselesaikan. Minta jawapan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Johor negeri yang ketiga tertinggi kes. Daripada kes-kes ini Tuan Yang di-Pertua ialah 256 mesyuarat dan pemilihan, masalah pentadbiran dan pengurusan 533, penyelenggaraan dan kerosakan 335 kes, isu kewangan, khidmat nasihat 719 kes, penguatkuasaan 292 dan lain-lain 111. Daripada 2,279 kes, 2,215 telah dapat diselesaikan. Tuan Yang di-Pertua, inilah antara masalah yang kita lihat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kita sedang mencari jalan bagaimana untuk membantu perumahan-perumahan ini untuk mereka mengatasi, menghadapi masalah sepertimana yang diadukan oleh penghuni-penghuni dan sebagainya. Kita sebenarnya telah menyediakan peruntukan pembaikan kepada rumah-rumah ataupun kondo dan juga pangsapuri ini. Oleh sebab itulah sebagai contoh pada tahun ini sahaja, kita telah menyediakan peruntukan sejumlah RM69 juta dan kita telah belanjakan RM22 juta bagi membantu projek-projek dan juga isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk berkenaan dengan perumahan di sini. Jadi saya ingat Tuan Yang di-Pertua, kita kena rundingkan antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri untuk kita mencari jalan bagaimana kita boleh menurunkan kadar kes aduan dan sebaginya yang boleh menjejaskan keselesaan dan keharmonian di kawasan-kawasan berkenaan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
[Bangun]
Papar minta kasihan.
Maaf Yang Berhormat Pasir Mas. Yang Berhormat Papar sudah tunggu lama sebenarnya, awal-awal sudah bangun.
Pembangkang, kerajaan tidak dapat lagi.
Maaf, maaf.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya meneliti jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Menteri tadi. Di Papar memang banyak perumahan PPR dan mereka ini kesemuanya kalau dikira memang berpendapatan rendah. Akan tetapi apa yang saya terima ialah rungutan- rungutan daripada penghuni-penghuni di Taman Kinarut Ria di mana mereka ini meluahkan perasaan sedih betul kepada saya kerana waktu PKPD dan PKP, mereka ini memang sangat-sangat terkesan. Jadi, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita baru-baru ini ada mengumumkan bahawa moratorium untuk PPR atau sewa ini akan diteruskan sehingga Disember 2022. Akan tetapi, apa yang mereka rasa ialah mereka disuruh bayar bermula dari bulan Oktober tahun ini. Jadi mereka mengajukan masalah mereka ini, macam mana mereka boleh membayar sewa-sewa ini sedangkan mereka pada ketika ini memang susah. Selain daripada itu, apa yang mereka luahkan juga ialah berkenaan dengan bekalan elektrik dan juga bekalan air. Apabila bekalan elektrik terputus, maka bekalan air akan terputus. Bukannya sehari, tetapi berminggu-minggu. Jadi saya ingin dan meminta kepada jabatan-jabatan berkenaan yang tahu hal ini supaya dapat mengambil perhatian secepat mungkin. Apa yang paling penting ialah berkenaan dengan sewa ini, kalau ya pun, berilah mereka peluang dan janganlah selalu mendesak supaya orang-orang ini terpaksa membayar sedangkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita sudah memberi moratorium sehingga tahun 2022. Terima kasih banyak-banyak.
Baik, terima kasih Yang Berhormat Papar. Saya rasa Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh bagi jawapan bertulis kerana tak ada kena mengena dengan soalan asal.
Terima kasih. Antara isu, Tuan Yang di-Pertua— Tak apa. Saya akan ambil isu-isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Papar dan kita akan bincang di peringkat kementerian. Cuma saya nak berikan penjelasan sikit Tuan Yang di-Pertua. Sebab apa? Undang-undang hakmilik strata dan pengurusan strata di negeri Sabah dan Sarawak ini ditadbirkan oleh negeri berkenaan. Jadi, berbeza dengan kita di Semenanjung dan 12 negeri yang lain. Sebab itulah, bukan bermakna kita tak nak campur tangan tentang negeri-negeri, kerana kita pun bertanggungjawab juga untuk kebajikan negeri-negeri ini. Namun demikian Tuan Yang di- Pertua, insya-Allah saya akan ambil perkara ini dan kita akan bincangkan dan kita akan maklumkan ini kepada Yang Berhormat Papar.
Terima kasih, terima kasih.
3. Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi [Igan] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh manakah Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan bagi negeri Sarawak dan Parlimen Igan daripada segi: (a) jumlah orang awam dan pelajar yang telah divaksin hingga kini dan jumlah yang sepatutnya layak divaksin untuk mencapai imuniti kelompok 100 peratus; dan (b) adakah kementerian bercadang untuk memberi suntikan ‘Dos Penggalak’ (Dos Ketiga) dan berapa jumlah kes kematian yang melibatkan mereka yang telah mendapat dua dos dan sebabnya
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Igan. Tuan Yang di-Pertua, status liputan vaksin di wilayah Sarawak sehingga 27 November 2021 adalah seperti berikut. Seramai 1,895,532 orang atau 92.8 peratus penduduk dewasa di negeri Sarawak berumur 18 tahun ke atas telah diberi vaksin sekurang-kurangnya satu dos. Manakala 1,859,794 orang atau 91.1 peratus telah diberikan dos lengkap. Seramai 259,648 orang atau 88.6 peratus penduduk remaja telah diberikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos. Manakala 251,736 orang atau 85.9 peratus telah diberikan vaksin dos lengkap. Ini menjadikan keseluruhan seramai 2,155,180 orang atau 76.5 peratus penduduk wilayah Sarawak telah diberi vaksin sekurang-kurangnya satu dos. Manakala 2,113,530 orang atau 75 peratus telah diberikan dos lengkap. Status liputan di Parlimen Igan mengikut daerah, sehingga 26 November 2021, seramai 27,266 orang atau 87.1 peratus penduduk dewasa di kawasan ini telah diberikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos. Manakala 27,197 orang atau 86.9 peratus telah diberikan dos lengkap. Seramai 3,988 orang atau 83.1 peratus penduduk remaja telah diberikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos. Manakala 3,930 orang atau 81.9 peratus telah diberikan dos lengkap. Ini menjadikan keseluruhan seramai 31,254 orang atau 86.6 peratus penduduk di Parlimen Igan telah diberi vaksin sekurang-kurangnya satu dos. Manakala 31,127 orang atau 86.2 peratus telah diberikan dos lengkap. KKM telah memulakan pemberian vaksin dos penggalak dan dos tambahan bermula 13 Oktober 2021. Tujuan pemberian dos penggalak adalah untuk memastikan imuniti yang diperoleh selepas menerima dos lengkap dapat dikekalkan untuk tempoh yang optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta. Inisiatif ini juga telah dilaksanakan untuk mengekalkan peningkatan semula— untuk mengelakkan, minta maaf, untuk mengelakkan peningkatan semula COVID-19 di
negara ini terutamanya di kalangan kumpulan berisiko tinggi termasuk petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, warga emas berumur 60 tahun dan individu dengan komorbid dan seterusnya memastikan perkhidmatan kesihatan terus berfungsi. Wilayah Sarawak merupakan negeri pertama yang melaksanakan pemberian suntikan dos penggalak dan dos tambahan pada 13 Oktober 2021. Sehingga 27 November 2021, seramai 620,180 orang atau 30.4 peratus penduduk dewasa telah menerima vaksin. Jumlah penduduk sasaran bagi dos penggalak dan dos tambahan ini adalah 2,042,300 individu. Sarawak merupakan negeri yang mempunyai kadar dos penggalak yang paling tinggi dalam negara ini. Tahniah, Sarawak. Sedikit, Tuan Yang di-Pertua. Sedikit lagi.
Baik.
Daripada 1 Januari 2021 hingga 27 November 2021, sebanyak 29,809 kes kematian telah dilaporkan. Daripada analisis data kematian, risiko kematian COVID-19 dalam kalangan individu yang tiada vaksinasi atau tidak dapat vaksinasi lengkap adalah 17.9 kali ganda berbanding mereka yang mendapat imunisasi lengkap. Daripada jumlah kematian tersebut, hanya 3,994 kes atau 13.4 peratus telah mendapat vaksinasi yang lengkap iaitu 5,817 orang atau 19.5 peratus telah mendapat satu dos vaksin atau dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari daripada tarikh dos kedua dan 19,098 kes atau 67.1 peratus lagi tidak divaksinasi. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih. Soalan tambahan pertama, Yang Berhormat Igan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang telah diberikan. Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya ingin bertanya lanjut berkenaan dengan dos penggalak vaksin COVID-19 ini kerana kalau berdasarkan statistik terkini Kementerian Kesihatan Malaysia, suntikan dos penggalak di negara kita hanya pada kadar 6.78 peratus sahaja daripada jumlah individu yang lengkap dua dos vaksinasi. Statistik ini menunjukkan kadar suntikan dos penggalak masih terlalu rendah. Keadaan ini amat tidak baik. Lebih-lebih lagi dapatan kajian juga menunjukkan paras antibodi COVID-19 individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin boleh berkurangan melebihi 50 peratus selepas 10 minggu. Soalan saya Yang Berhormat Timbalan Menteri, sejauh manakah tindakan yang diambil oleh kementerian bagi meyakinkan orang ramai supaya menerima suntikan dos penggalak ini kerana sekarang ini berbagai-bagai persepsi negatif yang kita dengar mengenai kesan sampingan vaksin dos penggalak ini. Adakah kementerian bercadang untuk menjadikan vaksin dos penggalak ini sebagai mandatori kepada orang ramai untuk diklasifikasikan sebagai penerima dos vaksin yang lengkap. Lebih-lebih lagi sekarang ini wujud varian Omicron yang sangat bahaya daripada varian Delta sebelum ini dan berapa kerapkah dos penggalak ini akan diberikan kepada orang ramai? Adakah setahun sekali ataupun sekali dalam masa dua tahun? Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri, mohon pencerahan.
Tiga soalan itu, Yang Berhormat.
Ya, banyak soalan. Kita jawab yang penting dahulu Tuan Yang di-Pertua ya. Terima kasih Yang Berhormat Igan. Itu menunjukkan Yang Berhormat ini sangat prihatin tentang perkara ini. Dos penggalak ini atau booster dose sangat penting sebab kajian menunjukkan setelah enam bulan dan sebagainya, imuniti berkurangan. Kajian-kajian di luar negara, banyak juga negara yang telah buat kajian yang menunjukkan dengan adanya dos penggalak meningkatkan imuniti. Jadi dengan ini, maka kuranglah jangkitan semula atau keterukan bila mendapat jangkitan. Saya percaya di negara kita ini, ada sedikit kelekaan berlaku sebab masing-
masing— kita dah mencapai hampir 80 peratus seluruh populasi penduduk di Malaysia ini mendapat dos penuh. Kita dah 77.7 peratus. Jadi, ada sedikit kelekaan sedikit di situ yang menyebabkan rasa macam dah okey tetapi kita mesti faham, dengan kewujudan varian-varian baharu yang tadi disebut, Omicron ini yang telah dijumpai di South Africa dan yang juga yang terkini di Hong Kong, dah dekat dengan kawasan kita. Sebab itu kerajaan hari ini begitu prihatin dan telah memulakan langkah-langkah kawalan ketat. Tidak membenarkan orang-orang dari kawasan-kawasan yang tertentu yang ada jangkitan Omicron ini untuk datang ke Malaysia dan mereka yang datang akan dibuat ujian dan akan dibuat kuarantin selama 14 hari. Jadi, saya hendak terangkan sekali lagi bahawa pentingnya kita mengambil dos penggalak ini. Ini adalah untuk keselamatan kita sebab kita tak tahu. Saya bagi contoh, Tuan Yang di-Pertua. Contohnya Omicron ini, ini adalah dikatakan satu varian yang mungkin lebih bahaya daripada Delta yang mempunyai 32 mutasi protein berbanding dengan Delta yang hanya memiliki sembilan mutasi protein. Kita tak tahu, WHO telah menamakan ia Omicron, B.1.1.529 ini dan telah menjadikan ia salah satu daripada VOC. Jadi, kita tak tahu sejauh mana keterukan yang ia boleh jadikan. Kita tak tahu sejauh mana vaksin boleh menangkis varian ini dan kita tak tahu juga rejim ubat yang ada sekarang, adakah dapat merawat penyakit ini. Jadi sebab itu hari ini, rakyat kena walaupun kebanyakan kita telah berada di fasa 4 dan kita telah bebas sekarang untuk bergerak dan telah mula mengadakan aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi, rakyat mesti sama-sama menyedari perkara ini.
Ringkaskan, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Supaya kita dapat menghindarkan diri kita daripada kena COVID-19 sekali lagi dan menjadi keterukan yang lebih serius. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Soalan tambahan kedua, Yang Berhormat Kuala Selangor.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mendengar jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri sebentar tadi. Namun pada soalan tambahan ini, kalau saya diizinkan untuk berkalih sedikit kepada vaksinasi ke atas kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, Tuan Yang di-Pertua yang hari ini sudah menjadi bukan kontroversi, tetapi satu dengan izin, intense contest ataupun pertelingkahan dan debat yang agak keras juga di kalangan pakar-pakar.
Apakah boleh kita mulakan dan apakah langkah-langkah kementerian dalam hal ini kerana kita tidak punya data dan kita tidak punya kajian sendiri. Apakah kita akan bersandarkan kepada kajian yang diluluskan oleh FDA secara dengan unanimous secara ijmak. Ini kerana saya memandang perkara ini adalah sangat penting. Namun, kita tidak dapat merumuskan satu tindakan dalam waktu yang terdekat ini. Saya ingin tahu untuk Yang Berhormat Timbalan Menteri memberikan pencerahan atas vaksinasi ke atas kanak- kanak lima hingga 11 tahun. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Seminit Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Selangor. Memang sebenarnya kenapa kita merujuk kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun. Ini kerana kita hendak melindungi anak-anak kita. Sepertimana yang kita telah jalankan kepada remaja 12 hingga 17 tahun yang kini telah mencapai pada tahap 85.9 peratus kadar vaksinasi sepenuhnya untuk anak-anak remaja ini. Kita yakin insya-Allah dengan usaha kita ini dapat memberikan mereka keselamatan lebih untuk pergi balik ke sekolah. Jadi ini kerisauan kita, anak-anak kita dan mereka yang tidak dapat diberi vaksin. Dia ada kumpulan yang belum diberi vaksin, anak- anak kita umpamanya lima hingga 11 tahun.
Hari ini bila kita benarkan pergerakan, kita bawa anak kita. Kita bawa ke Langkawi anak-anak kita. Kita bawa ke majlis kenduri anak-anak kita. Jadi, mereka ini tidak dilindungi. Disebabkan itu berdasarkan kajian sains, kajian-kajian yang telah berlaku. Kerajaan hari ini akan berusaha, akan mengadakan vaksinasi untuk anak-anak lima hingga 11 tahun. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih.
Terima kasih.
Yang dimaksudkan tadi adalah untuk pencerahan ke atas risiko myocarditis dan pericarditis yang menjadi pertikaian itu, yang kalau minta diberi pencerahan KKM. Kalau tidak, kita terima dengan jawapan bertulis Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Ya, kalau boleh jawapan bertulis. Seterusnya, Yang Berhormat Hang Tuah Jaya.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumsalam.
Harga barang terus meninggi, Rakyat terbeban, si miskin makin melarat, Mohon jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri, Soalan Hang Tuah Jaya nombor empat. Terima kasih. 4. Datuk Seri Haju Shamsul Iskandar @ Yusre bin Haji Mohd Akin [Hang Tuah Jaya] minta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan perincian program-program pembangunan luar bandar yang telah, sedang dan akan dijalankan di dalam menyediakan masyarakat untuk berdepan dengan impak pandemik COVID-19 dan apakah program- program pembangunan luar bandar yang telah dijalankan di dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Hang Tuah Jaya. Untuk maklumat Yang Berhormat kementerian telah memperuntukkan sejumlah RM1.76 juta bagi program dan projek pembangunan bandar melibatkan 37 program dan projek di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya sepanjang tempoh pandemik dari tahun 2020 hingga tahun 2021 ini. Peruntukan pembangunan disalurkan ini termasuklah melaksanakan satu projek jalan luar bandar, sembilan projek jalan perhubungan desa, lapan program amenities sosial, empat projek pembangunan kawasan tanam semula getah dan 15 buah projek perumahan rakyat termiskin. Senarai yang ada pada saya ini adalah panjang kalau hendak disebut. Jadi, saya bagi contoh sahaja ya. Apa yang telah dilaksanakan pada tahun 2020 iaitu di bawah JPD ya, kerja menaik taraf JPD dan lain-lain kerja berkaitan di Kampung Sungai Putat, Bukit Beruang, Melaka dan juga kerja-kerja naik taraf JPD berkaitan Kampung Semabok, Luar Semabok, Melaka. Ini untuk JPD ya, ada enam buah projek. Di bawah amenity sosial sebagai contoh adalah kerja-kerja menaik taraf dataran kejat dan pagar serta lain-lain kerja berkaitan di tanah perkuburan Kampung Tun Razak, Bukit Katil, Melaka dan sebagainya. Projek pada tahun 2020 yang di bawah
Pembangunan Kawasan Tanam Semula Getah RISDA iaitu ada pembangunan kawasan tanam semula getah Melaka 115 projek. Sebagai contoh ada tiga. Tiga projek semuanya dan dalam tahun 2021 pula iaitu di bawah PPRT ada dua projek. Bina baharu dua projek, baik pulih 13 projek bernilai RM275,000 dan di bawah perhubungan jalan luar bandar iaitu naik taraf jalan Kampung Paya Redan, Melaka Tengah, Melaka bernilai RM520,000 sudah1220 siap sepenuhnya. Jalan perhubungan desa ada tiga buah ya, ada tiga jalan. Di samping itu pula di bawah program perniagaan, MARA senantiasa memainkan peranan dalam membangun usahawan bumiputera untuk mendepani impak COVID-19. Antara inisiatif yang dibuat di Parlimen Hang Tuah Jaya negeri Melaka pada tahun 2021 ialah Skim Pembiayaan Perniagaan yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan perniagaan serta menggalak penyertaan usahawan. Seramai 59 usahawan di Parlimen Hang Tuah Jaya telah diluluskan dengan pembiayaan berjumlah RM6.25 juta. Manakala pada tahun 2020 pula hingga tahun ini, pengecualian sewa bagi premis perniagaan dan perusahaan MARA selama lima bulan telah pun diberikan. Seramai 252 penyewa di kawasan Melaka Tengah telah mendapat manfaat. Di samping itu pula, ada diskaun selama 16 bulan untuk penyewa 249 penyewa di kawasan Melaka. Banyak, panjang lagilah kalau hendak disebut satu persatu. I will promise you dengan izin untuk bagi dengan jawapan bertulis, banyak senarai. Kalau Tuan Yang di-Pertua bagi, ada sedikit untuk KEMAS. Ada dua program and the detail nanti bagi dengan you. Lepas itu pula di bawah program RISDA, kita ada di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya ya ada peruntukan, dengan peruntukan RM52,000 melibatkan sebuah lot kebun dengan keluasan 13.08 hektar, Program Getah Matang dan sebagainya. Memang kesimpulannya, RISDA juga komited melaksanakan program-program ini nanti. Untuk detil ini, saya bagi jawapan bertulislah, all the long list ya. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Hang Tuah Jaya.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita sedia maklum bahawa KPLB telah menyediakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 dalam ikhtiar untuk membina ketahanan penduduk luar bandar terutamanya dalam melahirkan masyarakat luar bandar yang sejahtera. Namun dengan pandemik dan sebagainya ini, antara perkara yang penting, yang kadang-kadang kita sering ketinggalan ialah pemerkasaan infrastruktur seperti capaian internet. Saya tengok tadi dalam senarai program Yang Berhormat Timbalan Menteri sediakan itu tidak ada ke arah pemerkasaan capaian internet terutama di kawasan luar bandar, di desa. Apakah di sana terdapat strategi kerjasama dengan kementerian lain untuk memperkasakan bab ini? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat, silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Hang Tuah Jaya. Sebenarnya tempoh hari Yang Berhormat Menteri kami, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah pun menyatakan bahawa kita juga ingin hendak bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi untuk memperkasakan di luar bandar, di FELDA, di pedalaman bersama- sama. Disebabkan sekarang ini bukan tidak ada, ada tetapi the buffering so bad lah. Jadi kita hendak bersama-sama. Memang ada usaha itu. Bukan hanya di sini saja juga di Sabah dan Sarawak untuk bekerjasama. Memang kita mengakui sebab sekarang kita untuk usahawan melalui digital, you know dan sebagainya, so it have to be improve lah di luar bandar. So, KPLB memang ada usaha untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi khususnya dan mungkin di Sarawak dengan Sarawak Multimedia dan sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih. Sila Yang Berhormat Jempol.
Ya, terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Saya difahamkan setakat Ogos lalu, KPLB telah meneruskan sebanyak 1,165 program pembangunan untuk memulih dan merancakkan ekonomi di luar bandar membabitkan peruntukan sebanyak RM5.78 bilion. Soalan saya, apakah program-program yang telah dilaksanakan oleh kementerian sepanjang tahun ini dalam merancakkan budaya usahawan penduduk luar bandar iaitu menarik lebih ramai lagi untuk terlibat dalam aktiviti keusahawanan dan sejauh manakah usahawan kementerian terhadap pengadaptasian ekonomi digital kepada usahawan luar bandar dalam era pemulihan pasca COVID-19. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jempol. Satu soalan berkaitan dengan senarai, saya tidak dapat hendak bagikan sebab it’s a very long list. Saya akan beri jawapan dengan secara bertulis. Akan tetapi dengan tentang pengadaptasian ini, rasanya daripada sejak Mac tahun 2020, kita sudah, bukan hanya di luar bandar, malah di bandar pun sama, kita sudah mula belajar membeli barang melalui talian dan sebagainya dan juga peniaga sudah mula menggunakan perniagaan melalui talian.
Selama hampir dua tahun kita telah pun melalui perkara ini. Rasanya perkara ini tidak akan diberhentikan, walaupun kita sudah pulih. Rasanya ia akan makin dirancakkan lagi sebab ia juga adalah satu cara― apatah lagi kalau peniaga atau usahawan yang tidak mempunyai premis, perniagaan dari rumah dan sebagainya. Jadi perkara ini memang, insya-Allah, kita sudah mula belajar sejak dua tahun ini dan akan dirancakkan lagi. Pasal senarai tadi, saya katakan saya akan beri secara bertulis. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Yang Berhormat Parit Buntar.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Kalau mahu pantun, begini bunyinya. Eloklah kita bersiap siaga, Musuh mara kita benam, Negara kita, kita jaga, Mohon Menteri soalan nombor enam.
6. Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan usaha memperundangkan tindakan/kata-kata kebencian antara kaum/agama bagi memastikan hubungan damai berbagai kaum di negara ini.
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Parit Buntar atas soalan yang dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 iaitu 10 tahun akan datang yang berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara memberi penekanan kepada pemantapan ekosistem perpaduan yang juga merangkumi penguatkuasaan undang-undang dan keberkesanan mekanisme pemantauan. Bagi memastikan hubungan damai pelbagai kaum di negara ini dapat dikekalkan dan menangani isu antara kaum, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang seperti berikut:
(i) seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar rangkaian atau perkhidmatan rangkaian; (ii) seksyen 506 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah; (iii) seksyen 505 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam; (iv) seksyen 504 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan; dan (v) subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1998 [Akta 15] iaitu kesalahan menghasut. Kementerian Perpaduan Negara amat menitik beratkan tindakan penguatkuasaan secara saksama kepada semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama. Kedua-dua dokumen yang baru kita lancarkan semalam oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjadi asas dan garis panduan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama dalam mengukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Terima kasih.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Sama ada Yang Berhormat Timbalan Menteri tidak mengikuti perkembangan semasa, saya ingin betulkan bahawa blueprint yang dimaksudkan Perpaduan Negara itu pernah dan sudah pun disebut sebelum ini, pada tahun 2011 lagi. Saya ada local standi untuk bercakap, Tuan Yang di-Pertua, kerana saya adalah Pengerusi Majlis Perpaduan Negara di mana saya terlibat untuk membentuk ‘akta kebencian kaum’ ini. Jadi, saya hanya mendengar ulangan tape lama. Seksyen yang disebut dalam Akta Hasutan, baik Akta Multimedia itu, ianya menumpang, Tuan Yang di-Pertua. Kalau boleh ada masa, saya bagi keyakinan kepada pihak kerajaan supaya inilah masanya untuk kita semua melakukan satu akta yang terbina atas kepentingan sendiri, tidak ada tumpang seksyen itu, seksyen ini iaitu Akta Keharmonian Kaum. Jadi, Tuan Yang di-Pertua, perpaduan negara sudah ada satu kementerian. Saya rasa tiba masanya mereka punya satu akta tentang keharmonian nasional dan saya boleh bercakap sebab saya telah mengusahakannya sejak tahun 2010 lagi. [Tepuk]
Jadi, cadanganlah, Yang Berhormat? Tidak ada soalan?
Hendak minta pandanganlah. Dia hendak cakap apa, dia hendak ulang cerita lama balik kah, saya tidak tahu.
Baik. Okey, Yang Berhormat. Cadangan, komen.
Terima kasih Yang Berhormat Parit Buntar atas cadangan yang boleh dipertimbangkan. Cuma di peringkat Kementerian Perpaduan Negara, kita mengambil pendekatan yang lebih kepada mendidik dan memperkasakan. Tadi saya cakap ekosistem perpaduan. Saya rasa hate speech, dengan izin, tentang undang-undang yang berkenaan ini sudah cukup kita boleh manfaatkan peruntukan-peruntukan undang- undang yang telah saya sebutkan tadi untuk menangani sebarang isu-isu sensitif yang melibatkan kaum dan agama. Saya rasa lebih baik kita tumpukan kepada dua pelan yang dilancarkan semalam iaitu pelan 10 tahun tindakan, Pelan Tindakan Perpaduan Negara dan juga pelan lima tahun, Pelan Keluarga Malaysia Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah lancarkan. Saya yakin, insya-Allah, rakyat dengan demokrasi yang matang mampu mengambil kira pendekatan ini berbanding pendekatan yang bersifat punitif ataupun yang lebih menegah itu.
Terima kasih. Yang Berhormat Parit, silakan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kementerian yang telah pun melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan juga Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, apakah usaha bersama kementerian lain ataupun agensi yang berkaitan serta NGO dalam memantau aktiviti pengeksploitasian emosi perkauman dan juga keagamaan yang sering berlaku khususnya di dalam talian ataupun media sosial? Apakah bentuk kempen kesedaran dan semangat perpaduan yang telah diwujudkan oleh kementerian terhadap kumpulan sasar yang terdiri daripada pelajar sekolah, mahasiswa, NGO dan juga masyarakat sivil? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Parit atas soalan yang dikemukakan. Memang apabila kita bercakap tentang perpaduan negara ataupun nasional, ia melibatkan rentas kementerian dan juga agensi. Kami tidak mampu melaksanakan agenda perpaduan ini dengan sendiri. Kita perlukan kerjasama dan dukungan bukan sahaja daripada pihak kerajaan tetapi juga pembangkang. Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat daripada pihak pembangkang yang hadir semalam yang turut menyokong kepada pelancaran tersebut. Tuan Yang di-Pertua pun hadir. Ini satu pendekatan yang baik kerana apabila kita melibatkan the whole of government dan juga the whole society approach, dengan izin, barulah perpaduan itu dapat diterjemahkan dalam masyarakat. Di peringkat sekolah, universiti dan sektor pendidikan, kita memang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi tentang Rukun Negara. Kita ingin mewujudkan― sudah pun ada sekretariat Rukun Negara, Kelab Rukun Negara di sekolah untuk kita benar-benar merakyatkan dokumen penting ini dalam memastikan anak-anak muda memahami makna perpaduan negara yang cukup- cukup berharga ini. Terima kasih.
Terima kasih.
Soalan tambahan, Tuan Yang di-Pertua.
Ya, ringkas sahaja, Yang Berhormat Segambut.
Soalan tambahan saya. Sudahkah Menteri ataupun Kementerian Perpaduan berjumpa dengan parti-parti politik terutamanya Bersatu, UMNO, PAS, MCA, MIC? Ini kerana kita lihat baru-baru ini sahaja kempen di Melaka, banyak material online yang menggunakan penipuan ataupun berita palsu untuk menjejaskan ataupun influence, mempengaruhi undi. Ini kerana, ini adalah elephant in the room, Tuan Yang di-Pertua. Kementerian pergi launch satu blueprint atau satu konsep yang sangat indah tetapi realiti di dalam kitchen, di dalam dapur mereka sendiri, bahan-bahan yang lain diajar kepada ahli-ahli parti mereka. Terima kasih. Sudahkah bertemu atau belum?
Saya hendak tambah. Yang kata Bumiputera semua sama daripada parti Yang Berhormat Segambut.
Maaf. Silakan.
Untuk makluman Yang Berhormat Segambut, buat masa ini, belum ada pertemuan sebegitu. Cuma, kalau ada sebarang isu-isu berbangkit melibatkan isu perkauman mahupun agama sewaktu kempen pilihan raya negeri yang lalu, silalah majukan laporan kepada SKMM, kalau berlaku atas talian dan juga aduan kepada kami untuk kita ambil tindakan ataupun soal siasat dahulu. Terima kasih.
Boleh dapat satu lagi, Tuan Yang di-Pertua?
Tiga sahaja peraturan mesyuarat benarkan. Yang Berhormat Tumpat, maaf. Yang Berhormat Pontian, silakan.
[Berpantun] Sudah tiba musim tengkujuh, Rakyat mesti diberi bantuan, Soalan saya nombor tujuh, Harap Menteri tolong jawabkan.
7. Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan [Pontian] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan berapa jumlah dan peratusan rakyat Malaysia yang bekerja di negara ini mempunyai sijil, diploma ke atas atau sekurang-kurangnya Sijil Kemahiran Malaysia selain daripada Sijil Pelajaran Malaysia dan apakah usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kemahiran dan pendapatan mereka.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Tuan Yang di-Pertua, dan terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Pontian. Berdasarkan kepada soalan yang dibangkitkan, Laporan Kaji Selidik Tenaga Buruh Malaysia Tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bilangan penduduk yang bekerja dan mempunyai kelayakan peringkat sijil, diploma dan ijazah adalah seramai 4.7 juta orang iaitu 31.6 peratus.
Oleh itu, kerajaan sentiasa berusaha dan komited untuk meningkatkan kemahiran dan pendapatan rakyat Malaysia dengan menyediakan program latihan pekerjaan atau perantisan bagi meningkatkan kemahiran (upskilling) dengan izin, latihan semula (reskilling) dan silang kemahiran (cross-skilling). Bagi pihak Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran, menyediakan peluang latihan kemahiran kepada rakyat Malaysia melalui tiga kaedah seperti berikut: (i) Sistem Latihan Program Bertauliah; (ii) Sistem Latihan Dual Nasional; dan (iii) Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu. Di samping itu, kementerian melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) turut melaksanakan inisiatif PENJANA HRD Corp. seperti berikut: (i) Place and Train; (ii) B40 Development; (iii) SME Development; (iv) Industry Revolution 4.0; (v) Gerakan Insan Gemilang (GIG); (vi) Skop parol iaitu bagi mereka diberi persediaan untuk yang akan habis tempoh dalam penjara. Skim-skim ini telah dapat membantu rakyat Malaysia menambah dan meningkatkan kemahiran dan mendapat penempatan pekerjaan di samping menggalakkan rakyat untuk bekerja sendiri atau self-employed dengan izin. Selanjutnya, usaha pemerkasaan ekosistem bakat diteruskan dengan program- program di bawah Talent Corp. yang berfokus kepada pembangunan, kebolehpasaran dan kebolehkerjaan bakat muda negara. Antara inisiatifnya adalah seperti berikut: (i) Platform Analitis Penilaian Psikometrik Bersepadu (Nurturing Expert Talent); (ii) Program Latihan Industri Berstruktur;
(iii) Young Employable Students; (iv) Kolaborasi Industri Akademia; dan (v) Program Pengekalan Bakat Tajaan Kerajaan. Sekian, terima kasih. Itulah jawapannya Yang Berhormat Pontian.
Silakan Yang Berhormat Pontian.
Tuan Yang di-Pertua, dalam Akta Kerja (Pindaan) 2021 atau Akta 265, adakah faktor peningkatan kemahiran dan peningkatan pendapatan pekerja diambil kira? Bagaimana usaha yang berterusan dapat dipastikan agar majikan terus meningkatkan kemahiran dan pendapatan pekerja selain menjaga kebajikan mereka? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Pontian yang membangkitkan soalan yang bagi saya sangat baik. Untuk makluman kepada Yang Berhormat, unemployed in market ataupun yang sedang mencari pekerjaan dalam pasaran dengan izin, jadi faktor peningkatan yang dibangkitkan ini, faktor peningkatan kemahiran tidak dinyatakan dengan jelas dalam Akta Kerja (Pindaan) 2021 kerana akta ini berperanan sebagai garis panduan bagi menjaga kebajikan pekerja dari segi undang-undang perburuhan yang mana akta yang kita baru luluskan dalam dua minggu yang lepas. Seterusnya, terdapat akta khusus Yang Berhormat Pontian, berkenaan dengan kemahiran iaitu Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan [Akta 652]. Isu peningkatan gaji pula dimuatkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dalam Akta 732. Jadi ia ada tiga akta yang berasingan, yang mana tidak terkait dengan faktor peningkatan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pontian tadi. Walau bagaimanapun, mungkin secara tidak langsung pengenalan flexible working arrangement dalam pindaan Akta Kerja menggalakkan berkemahiran membuat pilihan bekerja dari rumah dan mengiktiraf kemahiran mereka untuk bekerja dari rumah. Sekian, terima kasih. Itu jawapan saya.
Ya, Yang Berhormat Simpang Renggam.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Jika dapat kita minta daripada kementerian untuk memberikan pecahan peratusan penyertaan rakyat Malaysia ke bidang kemahiran ini menurut kaum terutamanya di kalangan lepasan SPM bagi tahun 2019 sehingga tahun 2021. Jikalau tidak ada di waktu ini, kita minta jawapan bertulis. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Okey, terima kasih kepada sahabat yang bertanya berkenaan dengan peratusan. Insya-Allah, saya akan menjawab secara bertulis nanti.
Jerai satu lagi, Jerai.
Padang Serai.
Akan tetapi Yang Berhormat Padang Serai dah bangun lama sebenarnya. Ringkas, Yang Berhormat Padang Serai.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya tertarik untuk menanyakan kepada kementerian. Bolehkah kementerian menyatakan berapa peratus graduan yang mempunyai tingkat gaji lebih RM4,000 selepas dua tahun bekerja? Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri dan Tuan Yang di- Pertua.
Terima kasih. Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Oh! Saya tidak dapat tangkap sebab saya dok fokus kepada ini.
Tolong ulang, tolong ulang.
Ulang gaji yang RM4,000. Sila repeat.
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Mikrofon, mikrofon.
Berapa banyak graduan yang mempunyai tangga gaji RM4,000 selepas mereka bekerja dua tahun?
Okey, yang ini juga statistik yang saya akan dapat dari Jabatan Perangkaan Negara untuk saya jawab secara bertulis. Terima kasih.
[Bangun]
Maaf Yang Berhormat Alor Gajah, tiga sahaja boleh. Yang Berhormat Tuan Lim Lip Eng, silakan.
8. Tuan Lim Lip Eng [Kepong] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan sebab- sebab Lembaga Penapis Filem bukan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia memandangkan hal-hal berkaitan pembikinan filem tertakluk di bawah bidang kementerian tersebut dan berapakah filem telah diharamkan pada tahun 2020 dan 2021.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Kepong. Untuk makluman Yang Berhormat, Lembaga Penapis Filem (LPF) Kementerian Dalam Negeri melaksanakan tugas dan tanggungjawab berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002. Merujuk kepada peruntukan tersebut, LPF bertanggungjawab melaksanakan penapisan filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal kepada masyarakat umum kecuali melalui internet mahupun intranet. Dalam melaksanakan proses penapisan filem, LPF mengguna pakai Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010. Terdapat empat aspek utama yang digariskan dalam garis panduan tersebut yang diteliti dan diberi perhatian khusus oleh ahli-ahli lembaga semasa menapis sesebuah filem iaitu: (i) keselamatan dan juga ketenteraman awam; (ii) keagamaan; (iii) sosiobudaya; dan (iv) ketertiban dan juga ketatasusilaan. Adalah jelas bahawa aspek keselamatan dan ketenteraman awam merupakan aspek tunjang yang menjadi keutamaan LPF dalam menilai kandungan sesebuah filem sebelum ia ditayangkan kepada umum yang menjadi asas LPF diletakkan di bawah KDN. Sejak awal penubuhannya, LPF berada di bawah kementerian yang bertanggungjawab mengenai keselamatan dalam negeri. Ekoran dari itu, LPF kekal diletakkan di bawah bidang kuasa KDN bagi memastikan kandungan filem yang ditayangkan kepada umum tidak melanggar keempat-empat aspek utama yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara. Selain itu, LPF tidak diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana fungsi LPF adalah terhad kepada penapisan kandungan filem yang telah siap untuk ditayangkan kepada umum. LPF tidak terlibat dalam urusan pembikinan atau pengeluaran filem sebagaimana yang telah pun sedia dilaksanakan secara langsung oleh
pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) iaitu salah satu agensi di bawah KKMM yang melaksanakan fungsi khusus untuk membangunkan industri filem tempatan berdasarkan kepada peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981. Untuk makluman Yang Berhormat selanjutnya, bagi tahun 2020 terdapat enam buah filem yang diberi keputusan tidak lulus untuk tayangan. Manakala bagi tahun 2021, terdapat satu filem yang diberikan keputusan tidak lulus untuk tayangan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Silakan Yang Berhormat Kepong.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya minta diberitahu nama enam filem dan satu filem bagi tahun 2020 dan tahun 2021 yang telah diharamkan. Soalan tambahan saya, apakah rasional pelantikan anggota Lembaga Penapis Filem (LPF) daripada mereka yang bukan daripada kalangan industri pembuatan filem? Bukankah lebih wajar untuk anggota daripada industri pembuatan filem dilantik sebagai anggota LPF? Terima kasih.
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat. Sebagaimana yang disebutkan tadi, Yang Berhormat minta nama-nama filem yang telah tidak boleh ditayangkan iaitu: (i) pada tahun 2020 iaitu Daulat; (ii) filem Real Love; (iii) filem India ini, saya pun hendak sebut minta maaf kalau sebutan saya tidak betul, Shubh Mangal Zyada Saavdhan;
(iv) filem Pallu Padama Paathuka; (v) filem White Eye; (vi) filem Boluomi; dan, (vii) bagi tahun 2021 adalah Battle at Lake Changjin. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, di bawah Akta Penapisan Filem ini adalah memang kuasa mutlak Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri untuk melantik mana-mana orang sebagai Board Director atau Ahli Lembaga Penapis Filem yang terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan dua orang lain yang tidak kurang daripada dua orang Lembaga Penapis Filem yang lain. Ini bermakna, jangan kurang daripada dua orang. Maknanya boleh tiga orang, boleh lima orang dan sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Tumpat.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya ingin bertanya, apakah Lembaga Penapis Filem juga mempunyai bidang kuasa terhadap filem-filem luar negara yang menayangkan unsur-unsur yang tidak bersesuaian, khususnya melalui platform penstriman ataupun online (dalam talian)? Serta langkah-langkah yang diambil dalam konteks perundangan sedia ada bagi mengawal kebanjiran filem-filem yang tidak ditapis, khususnya melalui platform yang saya sebut tadi. Terima kasih.
Betul Yang Berhormat. Filem ini mestilah ditapis oleh Ahli Lembaga Penapis Filem kita di bawah Kementerian Dalam Negeri, sama ada filem itu keluaran tempatan dan juga keluaran dari luar negara. Sebagaimana jawapan saya sebelum ini, melalui internet atau intranet bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri. Memang kita ada– di bawah akta kita, kita ada tindakan undang-undang yang boleh kita kenakan kepada mana-mana pihak individu atau mana-mana syarikat yang mengeluarkan
filem yang melanggar keputusan Ahli Lembaga Penapis Filem kita dan ini tertakluk kepada akta kita. Terima kasih.
Terima kasih. Seterusnya Yang Berhormat Tebrau.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya, soalan 9.
9. Tuan Steven Choong Shiau Yoon [Tebrau] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sebab-sebab kegagalan atlet Malaysia memungut pingat emas di Sukan Olimpik selama ini dan sama ada ini adalah kegagalan daripada pihak kementerian atau atlet sendiri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kementerian telah menerusi Majlis Sukan Negara melaksanakan program Road to Tokyo 2020 sebagai persediaan atlet-atlet negara menghadapi cabaran untuk meraih pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo. Namun begitu, disebabkan oleh pandemik COVID-19, atlet-atlet negara telah melalui pelbagai cabaran baharu yang sangat berbeza dan tiada precedent, dengan izin sebelum ini ke atas program persediaan atlet daripada segi latihan, daripada segi pendedahan kejohanan peringkat antarabangsa dan juga penyertaan kejohanan- kejohanan untuk kelayakan Olimpik dan Paralimpik 2020. Beberapa faktor telah dikenal pasti menyumbang kepada kegagalan untuk meraih pingat emas iaitu kita tidak dapat menyertai latihan dan kejohanan-kejohanan kompetitif kerana terpaksa dibatalkan dan ada juga ditangguhkan. Hanya sebanyak 15 daripada latihan luar negara yang kita dapat laksanakan daripada sasaran sebanyak 125 program yang telah kita rancang. Manakala daripada segi pendedahan pertandingan luar negara pula, hanya sebanyak 67 daripada pertandingan sahaja yang dapat kita sertai daripada perancangan asal iaitu sasaran sebanyak 372 pertandingan. Kejohanan antarabangsa yang sangat terhad telah menyukarkan analisa yang tepat dan prestasi pesaing-pesaing dari negara luar. Tidak banyak data yang dapat kita kumpulkan ataupun dapat kita perolehi untuk membandingkan prestasi semasa atlet-atlet negara dengan pesaing-pesaingnya. Daya ketahanan mental atau psikologi di kalangan atlet negara semasa pandemik COVID-19 turut juga mempengaruhi prestasi atlet. Perkara ini bukan sahaja dihadapi oleh atlet-atlet tempatan, bahkan juga turut dialami oleh bintang-bintang Olimpik edisi lepas yang gagal mempertahankan pingat emas mereka seperti Simone Biles, Kohei Uchimura, Noah Lyles, Kento Momota, Novak Djokovic dan sebagainya. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kegagalan ini adalah tanggungjawab daripada semua pemegang taruh yang terlibat seperti kementerian, persatuan sukan kebangsaan, jurulatih-jurulatih dan juga atlet-atlet. Kegagalan ini bukanlah sesuatu yang kita inginkan ataupun semua pihak memang bersama-sama berganding bahu untuk mengatasi. Walau bagaimanapun, kementerian mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada atlet-atlet negara yang telah berjuang sebaik mungkin menggalas amanah atas nama Malaysia di edisi Tokyo 2020 kali ini. Kesediaan berlatih dalam ancaman COVID- 19 adalah satu pengorbanan yang besar demi mengharumkan nama negara Malaysia. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, beberapa orang atlet perlu kita beri pujian atas peningkatan pencapaian seperti Datuk Mohammad Azizulhasni Awang dalam acara kegemarannya keirin yang berjaya memenangi satu pingat perak, sekali gus memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Rio 2016, di mana beliau hanya meraih pingat gangsa. Manakala gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerusi acara beregu lelaki sukan badminton, berjaya merangkul pingat gangsa setelah menewaskan pasangan nombor dua dunia dari Indonesia.
Walau bagaimanapun, atlet negara tidak berjaya membawa pulang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, atlet Paralimpik pula berjaya mencipta sejarah baharu di pentas Sukan Paralimpik dengan meraih tiga pingat emas dan dua pingat perak. Selain daripada itu, bagi menilai dan melihat semula kekurangan serta kelebihan program Road to Tokyo 2020, kementerian telah melaksanakan post-mortem Olimpik/Paralimpik Road to Tokyo 2020. Sekian, terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Tebrau.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri memberikan jawapan atas soalan saya dan sudah mengenal pasti beberapa faktor yang jadi punca tidak memungut pingat emas di Sukan Olimpik. Akan tetapi kerana ini faktor-faktor yang disebut adalah di antara atlet-atlet yang sudah dipilih untuk menyertai pertandingan. Adakah sebab kerana tidak cukup atlet-atlet untuk dipilih? Jadi adalah pasal faktor mereka ada isu mental atau psikologi tidak boleh mengatasi tekanan pada platform Olimpik yang besar itu. Kalau itu adalah sebabnya, kerana saya dapat maklumat, ada negeri-negeri yang masih membayar elaun atlet SUKMA mereka pada kadar RM300 sebulan dan hal ini amat mendukacitakan kerana pada saya, KBS perlu membuat satu pelarasan gaji bagi atlet- atlet SUKMA.
Habiskan Yang Berhormat.
Ini kerana jika tidak, kita akan kehilangan ramai atlet berbakat yang mampu diketengahkan. Jadi soalan saya, adakah kerajaan telah menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,200 dalam sektor pekerjaan? Adakah ini akan diselaraskan untuk atlet-atlet yang dipilih untuk sertai latihan-latihan? Jikalau tidak, saya tidak nampak kita ada cukup atlet- atlet atau orang yang berminat untuk memasuki sukan. Saya minta jawapan.
Panjang sangat itu Yang Berhormat. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih atas soalan tambahan yang panjang lebar. Saya cuma ingin memberitahu Yang Berhormat bahawa sukan adalah termasuk dalam senarai bersama ataupun concurrent list di mana pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa masing-masing. Pihak kementerian tidak boleh menetapkan gaji ataupun bayaran yang minimum kepada negeri-negeri.
Kebanyakan atlet-atlet yang terlibat di peringkat negeri ialah separuh masa (part- time) dan bukannya sepenuh masa. Jadi, kita tidak dapat campur tangan kepada pentadbiran-pentadbiran negeri yang mempunyai sumber-sumber berbeza dan keupayaan-keupayaan berbeza. Maka, banyaklah keputusan yang telah dibuat negeri tidak akan diselaraskan di pihak kementerian. Hampir keseluruhan atlet sukan SUKMA yang telah diketengahkan oleh negeri-negeri bukanlah merupakan atlet sepenuh masa. Jadi, perlulah kita mengambil hakikat ini juga. Sekian, terima kasih.
Terima kasih.
Pasir Mas.
Ya, Yang Berhormat Pasir Mas. Tidak ada sebelah sini? Ya.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengamati jawapan dikemukakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi. Isu pertama ialah disebut tentang COVID-19 yang menjejaskan persiapan atlet untuk menjalani latihan. Akan tetapi tahu kah kita, atlet dari Filipina - Hidilyn Diaz, dengan izin— saya tidak pasti sebutannya macam mana. Akan tetapi seorang atlet dari Filipina ini, beliau telah memenangi pingat emas Olimpik dan berlatih di Jasin di Melaka di sebuah bengkel yang agak uzur di Melaka. Dua
tahun beliau berlatih. Jadi, adakah isunya ialah latihan ataupun isu-isu lain yang sebenarnya isu insentif dan sebagainya? Ini kerana ada orang berlatih di tempat yang tidak sepatutnya di negara kita, boleh menang pingat emas Olimpik angkat berat mewakili Filipina. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Dalam kes Atlet Filipina ini, sememangnya beliau adapun mempunyai akses kepada kemudahan-kemudahan kementerian. Namun begitu, dalam pada itu pada masa-masa COVID-19, atlet— kerana jurulatih berkenaan amatlah komited, telah juga menyediakan kemudahan-kemudahan di kawasan perumahan ataupun di rumah dan tapak rumah beliau. Ini menunjukkan komitmen yang amatlah penting. Komitmen jurulatih dan komitmen atlet untuk mencapai kecemerlangan. Sekian, terima kasih.
10. Puan June Leow Hsiad Hui [Hulu Selangor] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah usaha kementerian untuk menggalakkan waktu bekerja fleksibel bagi golongan wanita di sektor awam dan swasta sebagaimana amalan di negara-negara maju yang lain.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Hulu Selangor. Berkenaan dengan soalan yang dibangkitkan, kerajaan mula menggalakkan amalan pengaturan kerja yang fleksibel di sektor awam mahupun sektor swasta, khususnya semenjak berlakunya penularan pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Galakan ini turut merangkumi golongan pekerja wanita. Pengaturan kerja fleksibel ini membolehkan pekerja melaksanakan tugasnya mengikut waktu, hari atau tempat pekerjaan yang sesuai, tertakluk kepada persetujuan majikan. Buat masa ini, tiada dasar dan perundangan buruh yang spesifik untuk menetapkan waktu bekerja fleksibel bagi golongan wanita. Walau bagaimanapun, kerajaan amat prihatin terhadap keperluan golongan wanita dalam pengaturan waktu bekerja fleksibel yang dilihat dapat meningkatkan keharmonian dan kesejahteraan dalam pekerjaan. Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia telah memasukkan peruntukan baharu berhubung waktu kerja fleksibel serta cadangan pengurangan waktu kerja mingguan dalam pindaan Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang akan dibaca buat kali kedua di Parlimen ini pada penghujung sesi ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih, soalan tambahan pertama.
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih atas usaha kerajaan untuk hendak buat pindaan baharu. Kita sedia maklum, wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam arus pembangunan negara. Juga kita faham kekangan golongan wanita, terutamanya yang telah berkeluarga disebabkan tanggungjawab. Jadi, soalan saya apakah sebab utama kekurangan penyertaan golongan wanita dalam pasaran buruh negara? Apakah usaha kerajaan untuk menarik minat golongan luar tenaga buruh, khususnya wanita untuk memasuki pasaran buruh negara? Soalan satu lagi adalah adakah kerajaan berhasrat untuk mewajibkan setiap syarikat membuka child care, dengan izin, sendiri sebagai usaha berterusan untuk menarik minat golongan wanita kekal bekerja? Oleh sebab dengan secara tidak langsung, akan menyumbang kepada penambahan ekonomi negara. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih. Silakan yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berkenaan dengan soalan yang dibangkitkan, tentang pasaran buruh wanita. Memang sekarang ini secara peratusannya kerajaan telah membuka satu pasaran yang sangat terbuka kepada wanita, terutamanya dalam bidang manufacturing dalam negara ini di semua peringkat industri yang ada dalam sektor industri, kecuali sektor-sektor seperti sektor construction yang melibatkan heavy industry ini. Jadi, kita buka kepada sektor yang lebih competent
kepada pasaran buruh wanita iaitu seperti pasaran dalam sektor perkhidmatan, sektor pelancongan dan juga sektor manufacturing. Begitu juga dengan child care yang dibangkitkan, memang ini sangatlah kita bagi pihak kerajaan sangat menggalakkan semua majikan menyediakan child care bagi memudahkan dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga-keluarga muda ini bila ada satu persediaan child care. Sekian, terima kasih.
Terima kasih. Soalan tambahan kedua. Ada siapa? Tidak ada ya? Ya, Yang Berhormat Alor Gajah.
Tahniah Yang Berhormat Timbalan Menteri, memberi jawapan yang merangkumi semua inisiatif yang disebut sebelum ini. Saya cuma hendak bertanya, kalau tidak boleh, tidak ada statistik yang sedia ada, mohon jawapan bertulis. Dengan segala inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini, berapa peratus ke boleh pasaran wanita-wanita yang telah pun ditingkatkan kebolehan ataupun yang telah direskillkan ataupun diupskillkan? Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat yang membangkitkan berkenaan dengan peratus golongan wanita dalam pasaran ini. Beberapa usaha telah diambil oleh pihak kerajaan iaitu inisiatif yang pertamanya, berkenaan dengan kursus jangka pendek yang mana dipanggil micro-credential. Bagi kita memasarkan golongan wanita ini dengan pengetahuan dan kemahiran dan juga tingkah laku. Begitu juga dalam peratus ini, saya akan beri dalam bentuk jawapan bertulis, peratusan yang diminta. Keduanya, tujuan kita memang dalam kita meluaskan pasaran pekerjaan dalam negara kita yang menunjukkan industri ini kita telah melancarkan IR4.0 iaitu kita akan menuju kepada negara industri yang mana ini merangkumi iaitu meluaskan peluang pembelajaran dan merealisasikan pelajaran dalam bidang TVET ataupun skill education yang akan menjadi pemangkin kepada negara industri ini menyalurkan skill workers ke dalam pasaran, terutamanya according to the industry needs, request by the industry. Ini yang sedang kita rancangkan bagi membangkitkan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi. Sekian, terima kasih.
[Soalan No. 11 – YB. Tuan Jugah a/k Muyang @ Tambat (Lubok Antu) tidak hadir]
12. Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad [Kuala Selangor] minta Menteri Kesihatan menyatakan statistik bilangan pegawai perubatan siswazah yang telah meletakkan jawatan mengikut tahun. Apakah punca-punca yang menjadi sebab mereka ini meletakkan jawatan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Selangor. Tuan Yang di- Pertua, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah meletak jawatan sejak tahun 2017 hingga Jun 2021 adalah seramai 1,497 orang iaitu 110 orang pada tahun 2017; 168 orang pada tahun 2018; 475 orang pada tahun 2019; 511 orang pada tahun 2020; dan daripada Januari sehingga 26 November 2021 seramai 514 orang. Dalam hal penentuan peletakan jawatan ini, keputusan tersebut adalah merupakan hak yang diputuskan sendiri oleh pegawai atas sebab-sebab tertentu.
Alasan peletakan jawatan yang telah dinyatakan adalah seperti berikut: (i) berkhidmat dalam sektor swasta. Ada yang berminat untuk menyambung perkhidmatan dalam sektor swasta; (ii) atas sebab-sebab peribadi yang tidak dinyatakan;
(iii) berkhidmat di badan berkanun; (iv) melanjutkan pelajaran; (v) masalah kesihatan. Ramai juga yang mempunyai masalah kesihatan yang terpaksa mengambil rawatan dan sebagainya yang tidak dapat meneruskan kerjayanya; dan (vi) berhijrah ke luar negara dan ada juga yang bertekad untuk membuka klinik sendiri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Silakan Yang Berhormat.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas pencerahan itu. Saya sangat memahami akan perkara-perkara yang telah dibangkitkan sebentar tadi. Adapun untuk soalan lanjutan saya Tuan Yang di-Pertua, adalah sedikit saya beralih kepada persoalan pegawai-pegawai perubatan yang telah pun mendapat qualification master dan PhD dalam bidang-bidang tertentu seumpama clinical research, medical legal yang sehingga hari ini belum diiktiraf dan sekali gus tidak dimasukkan dan diwartakan dalam National Specialist Register (NSR) itu. Jadi, apakah langkah-langkah ke depan untuk MOH atau KKM yang maju dengan perkembangan semasa di mana negara-negara seumpama UK dan yang lain yang mengiktiraf contohnya Clinical Research Physician (CRP) contohnya dan juga bidang- bidang lain yang saya sebutkan tadi. Apa pencerahan atas perkara ini? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Menunggu jawapan.
Terima kasih Yang Berhormat. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Selangor yang memang selalunya sangat prihatin tentang kesihatan di negara ini. Soalan itu sedikit keluar daripada tajuk saya hari ini. Saya boleh mengambil perhatian dan memberikan jawapan secara bertulis. Walau bagaimanapun Tuan Yang di- Pertua, kita di Kementerian Kesihatan ini amat prihatin tentang nasib masa depan doktor- doktor kita. Kita telah nyatakan soalan macam ini telah keluar beberapa kali, bagaimana kita wujudkan jawatankuasa khas untuk peneliti perkara-perkara berkenaan dengan doktor-doktor yang baharu, yang muda ini. Jadi insya-Allah, Yang Berhormat Menteri mengambil pendekatan yang very serious, yang serius bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dan akan teruskan menjalankan usaha-usaha supaya doktor-doktor kita dapat meneruskan yang terbaiknya. Jadi, kita mewarisi juga daripada masalah lama ini, yang juga ditanggung oleh Yang Berhormat Kuala Selangor dulu. Terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan kedua? Tidak ada ya. Yang Berhormat Jempol. Silakan.
13. Dato' Haji Mohd. Salim Sharif [Jempol] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan rasional penetapan paras harga siling Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 sebanyak RM19.90 seunit yang telah berkuat kuasa pada 5 September 2021.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada sahabat saya dari Jempol yang bertanyakan berkenaan harga siling Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna telah menetapkan harga maksimum Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 ujian kendiri di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Ia adalah sebagai langkah untuk mengelakkan penjualan produk ini pada harga yang tidak terkawal serta sebagai inisiatif membolehkan pengguna membeli di bawah harga yang ditetapkan bagi membantu meringankan beban rakyat dalam mengawal penularan COVID-19. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman, harga yang kita kawal iaitu RM19.90. Akan tetapi alhamdulillah, apa yang kita lihat berada di lapangan sekarang harganya sudah di bawah RM10. Jadi, ini satu keadaan yang cukup membanggakan dan kita berharap agar pengedar, penjual ataupun pengimport di sana akan mampu lagi menurunkan pada harga yang lebih rendah. Ini kerana ia digunakan secara meluas oleh semua masyarakat di negara kita. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah menjawab dengan begitu kemas. Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah ke atas kementerian yang mengurangkan 87.7 peratus bagi harga RTK Antigen kendiri yang kini serendah RM4.90 berbanding harga asal RM39.90. Soalan saya, adakah kementerian bercadang untuk mengumumkan penetapan harga siling yang baharu pada masa terdekat bagi pembelian runcit dan borong supaya ia dapat diselaraskan di seluruh negara? Sejauh manakah penguatkuasaan kementerian dalam mengawal dan memantau penjualan RTK Antigen kendiri secara dalam talian yang tidak mendapatkan kelulusan daripada KKM serta ia tidak berdaftar dengan kementerian? Mohon Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab. Terima kasih.
Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri, jawab satu minit.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya soalan yang baik. Sebenarnya untuk maklumat Dewan yang mulia, sehingga hari ini, kerajaan tidak lagi bercadang untuk menentukan harga siling kepada RTK ini memandangkan kita telah mempunyai sebanyak 17 juta stok yang masih ada dan kita harap pasaran akan menentukan harga. Ini kerana kalau kita mengadakan harga siling, apa yang kita bimbang, akan berlaku manipulasi di peringkat pengedaran dan penjualan yang mana mereka akan menjual semaksimum mungkin untuk mendapatkan keuntungan. Soalan yang kedua berkaitan dengan masalah pembelian antigen ataupun perkara ini melalui online. Kita berharap pengguna yang menghadapi masalah ataupun problem terus melaporkan kepada kita untuk kita menyiasat. Sekali lagi saya suka mengingatkan di dalam Dewan yang mulia ini ialah setiap pembelian melalui online, pastikan company yang menjual tersebut mempunyai sijil SSM BizTrust. Ini kerana ini satu sijil yang dipercayai yang tidak akan berlaku penipuan di sana. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ada soalan tambahan kedua? Sekiranya tidak ada, saya ingin menjemput Yang Berhormat Bukit Mertajam.
14. Tuan Sim Chee Keong [Bukit Mertajam] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengukuhkan semangat ‘Keluarga Malaysia’ memandangkan beberapa kes baru-baru ini yang melibatkan elemen perkauman (seperti kenyataan terhadap pemain badminton negara, Kisona Selvaduray).
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam. Tuan Yang di-Pertua, tiga kata kunci dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran harus dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan yang merentasi batas etnik, kaum dan agama. Semua pihak perlu mengelak daripada menggunakan kata-kata yang boleh mengguris hati dan perasaan kaum-kaum lain demi menjaga perpaduan dan keharmonian Keluarga Malaysia. Aspirasi Keluarga Malaysia dilihat selari dan bertepatan dengan Dasar Perpaduan Negara yang telah dilancarkan oleh kementerian ini pada 15 Februari 2021 dengan menekankan amalan nilai- nilai murni di kalangan masyarakat di seluruh Keluarga Malaysia. Selain daripada Dasar Perpaduan Negara yang merupakan dasar payung kepada agenda perpaduan nasional, Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 yang baru dilancarkan semalam perlu dilihat bersama bagi menjelaskan lagi langkah- langkah strategik yang perlu diambil agar ia dapat menghasilkan impak secara langsung kepada rakyat. Selain daripada dua dokumen dasar tersebut, Kementerian Perpaduan Negara juga telah melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia yang merentasi kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta bagi mencapai agenda perpaduan nasional seiring dengan semangat Keluarga Malaysia. Tadi saya sudah jelaskan Yang Berhormat Bukit Mertajam, berkenaan dengan tindakan ataupun peruntukan undang-undang yang digunakan untuk mengekang, mencegah sebarang perkara yang sensitif melibatkan perkauman dan keagamaan. Saya ingin tekankan di sini di bawah semangat Keluarga Malaysia, kita tekankan semangat muhibah berkenaan dengan kefahaman. Kita perlu menghapuskan kejahilan tentang perbezaan-perbezaan yang ada yang boleh menimbulkan salah faham dan salah laku oleh rakyat mahupun mana-mana individu dan kumpulan. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan pertama. Sila Yang Berhormat Bukit Mertajam.
Terima kasih kepada Tuan Yang di- Pertua dan saya hendak ucapkan terima kasih kepada jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Perpaduan Negara. Akan tetapi walaupun dengan ayat-ayat yang cantik dan indah...
[Ketawa]
Sebenarnya tidak menggambarkan realiti kerajaan pada hari ini. Saya hendak tunjukkan ataupun saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri sebab Yang Berhormat Timbalan Menteri pernah menyatakan bahawa sekolah vernakular perlu dimansuhkan.
Ini sebenarnya bertentangan dengan semangat yang kononnya Keluarga Malaysia. Sekolah vernakular juga dijamin bukan sahaja oleh undang-undang tetapi juga oleh sejarah dan budaya negara kita. Salah satu salah faham ialah sekolah vernakular ini tidak memupuk kesepaduan. Ini saya rasa tidak benar sedangkan silibus sukatan mata pelajaran guru-guru, guru besar, pentadbir sekolah semuanya di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan. Jadi, kalau seorang Timbalan Menteri kononnya daripada Kementerian Perpaduan menyatakan supaya sekolah vernakular dimansuhkan, maka saya tidak ada keyakinan. Saya hendak tanya sebab Menteri Perpaduan kata tidak akan dimansuhkan. Timbalan Menteri Perpaduan kata sekolah vernakular perlu dimansuhkan. Jadi saya hendak tanya pendirian Timbalan Menteri di sini, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, apa pendirian sekarang oleh Timbalan Menteri Perpaduan tentang sekolah vernakular ini?
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam. Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam sahabat saya. Pertama, kenyataan yang saya buat berkenaan dengan sekolah vernakular atas kapasiti saya sebagai Ketua Pemuda Bersatu, bukan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara pada tahun lalu. Saya tekankan dalam penjelasan saya itu ialah berhubung dengan perlunya ada satu usaha yang kukuh untuk memastikan sekolah-sekolah vernakular mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang boleh menghubungkan perpaduan antara pelajar, guru dan masyarakat. Saya rasa ini satu perkara yang penting yang perlu kita teliti bersama yang mana kalaulah saya yakin ada lebih ramai pelajar-pelajar dan juga individu-individu seperti Yang Berhormat Bukit Mertajam yang memahami persuratan Melayu dengan baik, mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik, saya yakin inilah produk yang kita jadikan contoh sebagai ejen perpaduan di peringkat sekolah vernakular. Jadi, yang saya maksudkan di situ bukanlah mansuhkan tutup tetapi ialah memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.
Soalan tambahan kedua. Saya jemput yang ke...
Ini jelas tidak benar. Tidak benar. Jawapan yang tidak benar. Sebab...
Saya jemput soalan yang kedua.
Jawapan yang tidak benar. Sebab...
Satu sahaja.
Jempol. Jempol.
Timbalan Menteri yang menyatakan supaya sekolah vernakular dimansuhkan.
Saya jemput Yang Berhormat Jempol.
Okey. Terima kasih.
Kalau hendak tambah baik bahasa Melayu, kita boleh tambah baik bahasa Melayu. Bukannya dengan memansuhkan sekolah vernakular.
Saya minta Yang Berhormat Jempol teruskan.
Timbalan Menteri telah memberikan satu jawapan yang tidak benar dan menyelewengkan Dewan ini berkenaan dengan pendirian dan kenyataan beliau, Tuan Yang di-Pertua. Minta satu petua.
Saya sudah jemput. Sila, Yang Berhormat Jempol.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Mengambil kira semangat Keluarga Malaysia, adakah Kementerian Perpaduan memikirkan bahawa kita kena mengadakan suatu model di mana sebelum memulakan Sidang Parlimen, adakah lebih baik menyanyikan lagu Negaraku dan juga membaca ikrar Rukun Negara? Apa pandangan kementerian? Isu ini saya sudah bawa dua kali tetapi tiada feedback. Apa pandangan Timbalan Menteri yang ada dan juga semangat Ketua Pemuda Bersatu.
[Ketawa]
Sila Timbalan Menteri.
Saya setuju, Yang Berhormat Jempol.
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Satu cadangan yang bernas. Sebenarnya di peringkat kementerian, kita sendiri dalam semua aktiviti yang kita lakukan, contohnya semalam pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara, memang sebaik sahaja kita menyanyikan lagu Negaraku, kita juga membaca ikrar Rukun Negara. Jadi, satu pendekatan yang saya rasa boleh kita pertimbangkan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk kita menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat bahawasanya perkara ini mampu membenihkan rasa cinta dan sayang sesama kita dan juga kepada negara. Saya bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat Jempol dan kementerian akan pertimbangkan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari ini. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat. [Sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Usul — Waktu Mesyuarat Dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan MesyuaratMotion
Tuan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Majlis Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahaskan dan diputuskan dalam peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Selasa, 30 November 2021”.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 JawatankuasaBill
Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula pertimbangan atas “Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Anggaran Pembangunan 2022 dalam Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.” [Hari Kelima] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Jawatankuasa]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 Jawatankuasa — Kepala B.45 [Jadual] - Kepala P.45 [Anggaran Pembangunan 2022] –Bill
Ahli-ahli Yang Berhormat, Kepala Bekalan B.45 dan Kepala Pembangunan P.45 di bawah Kementerian Belia dan Sukan terbuka untuk dibahas. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya ada senarai seramai 16 Ahli Yang Berhormat untuk berbahas. Senarainya adalah seperti berikut. Pertama, Yang Berhormat Pasir Mas, kemudian Yang Berhormat Bukit Mertajam, Yang Berhormat Jerai, Yang Berhormat Johor Bahru, Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Lumut, Yang Berhormat Tebrau, Yang Berhormat Sandakan, Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Batu, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Dungun dan Yang Berhormat Labuan. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Pasir Mas. Lima minit.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus merujuk kepada Maksud B.45 Butiran 031000 – Malaysia Future Leaders School. Anggaran tahun 2021 ialah RM16.5 juta, pada tahun 2022 ialah RM5.9 juta. Apakah jadi kepada program ini? Kerana ia dilihat penurunan secara mendadak. Dan apakah hala tuju sebenarnya? Adakah kerajaan masih berminat untuk meneruskan program Malaysia Future Leaders School ini? Kalau tidak, katakan tidak. Butiran 020200 – Pembangunan Kemahiran Belia. Sasaran tahun 2021 sebanyak RM189.175 juta, manakala tahun 2022 menurun dengan mendadak kepada RM164.733 juta. Dalam keadaan kita berdepan dengan situasi wabak pandemik COVID-19 ini, belia- belia perlu dilatih dengan upskilling dan reskilling yang betul-betul serius. Soal kemahiran ini adalah merupakan satu perkara yang penting. Maka, kenapakah dalam situasi kita mahu memperbanyakkan belia-belia yang mempunyai kemahiran-kemahiran khususnya di dalam memastikan kebolehpasaran graduan yang pada hari ini berada pada situasi yang sangat-sangat serius dan kritikal, kenapa kita turunkan soal pembangunan kemahiran belia ini? Butiran 031500 – International Youth Centre. Tahun 2021 tiada peruntukan, tahun 2022 diperuntukkan RM2 juta. Apa dia International Youth Centre (IYC) ini dan bilakah ia
dilancarkan? Apakah misi dan objektif penubuhannya? Bagaimanakah ia beroperasi dan sebagainya? Pembinaan Stadium Bukit Merbau, Pasir Putih. Saya mengimbau ucapan Yang Berhormat Menteri Kewangan menyebut bahawa Stadium Bukit Merbau di Pasir Putih ini di antara stadium yang akan dimulakan pembinaannya pada tahun 2022. Akan tetapi, di manakah butirannya ia diletakkan di dalam Bajet 2022 ini? Butiran 031200 – Penyelenggaraan Kem Wawasan Negara. Tahun 2021, anggaran sebanyak RM2 juta, tahun 2022 diperuntukkan sebanyak RM3 juta. Apakah program di bawah Kem Wawasan Negara ini? Saya cadangkan kesedaran mengundi juga hendaklah dimasukkan ke dalam mana-mana silibus di dalam Kem Wawasan Negara ini kerana anak-anak muda― ya, kita telah pun melepasi fasa untuk mengundi 18 tahun. Kerajaan, saya yakin, serius untuk melaksanakan undi 18 tahun. Akan tetapi melihat situasi di Melaka, walaupun pengundian 18 tahun masih belum lagi dimulakan, hanya 60 peratus sahaja pengundi yang turun mengundi. Kita tidak dapat bayangkan kalaulah satu hari nanti undi 18 tahun dilaksanakan, saya bimbang secara peribadi bahawa anak-anak muda tidak ramai yang keluar mengundi yang akhirnya hak itu dipersia-siakan. Akhirnya objektif kita untuk melaksanakan Undi18 tidak berjaya juga pada akhirnya. Justeru, adakah kerajaan boleh mengambil suatu sikap untuk memperhebatkan kursus ataupun kesedaran mengundi kepada anak-anak muda? Atau mungkin pada satu peringkat, kita wajibkan rakyat untuk mengundi sebagaimana kita wajibkan rakyat untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Mungkin di sana ada beberapa prosedur yang boleh kita laksanakan supaya rakyat akan terpaksa atau setidak-tidaknya rakyat perlu untuk mengundi untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan tertentu di mana mengundi ini merupakan salah satu usaha partisipasi mereka ke arah untuk mendaulatkan ataupun untuk menentukan kepimpinan negara.
Butiran 00100 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Anggaran dipinda pada tahun 202, RM18.6 juta. Manakala, tahun 2022, RM33 juta. Saya ucapkan tahniah di atas kenaikan ini. Ia naik lebih kurang dalam sekitar 70 ke 80 peratus. Cuma, saya ingin tekankan setakat manakah penekanan kerajaan terhadap pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang lebih berkualiti kepada komuniti orang kurang upaya (OKU). Adakah mereka ini di peruntukan dengan peruntukan tertentu di dalam IKBN ini kerana ada perbahasan-perbahasan yang saya dengar di Dewan Rakyat dan juga di Dewan Negara menekankan soal pengajian khusus untuk TVET kepada OKU di IKBN. Ini kerana OKU ini, Tuan Pengerusi, kalau mereka diberikan peluang, mereka akan berjaya lebih daripada orang-orang yang normal. Tidak kira dalam apa bidang sekalipun. Saya ingin ucapkan tahniah. Mengambil kesempatan ini saya ucapkan tahniah kepada seorang remaja istimewa dari Kelantan. Seorang artis yang bernama Asif Suhaimi memenangi Anugerah Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular, Berita Harian ke- 34 baru-baru ini menewaskan pelakon ataupun artis-artis yang lain. Seorang remaja istimewa OKU bila diberikan peluang, boleh memenangi anugerah dan ia berlaku akibat dibimbing oleh rakan sebayanya saudari Syahmi Sazli, yang kalau saya diberikan peluang untuk mencadangkan Syahmi ini perlu untuk dianugerahkan sebagai Tokoh Pembimbing Belia Negara. Berjaya membimbing seorang remaja OKU untuk mendapat Anugerah Artis Komedi Popular. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Bukit Mertajam.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus masuk ke B.45 Butiran 020100 – Belia dan Sukan. Khususnya Kod Objek Am 10000
untuk tujuan emolumen. Ada tiga perkara di sini. Pertama ialah saya nampak ada pengurangan jawatan hampir 100 jawatan di dalam Jabatan Belia dan Sukan Negara. Kedua, pengurangan perbelanjaan. Kita nampak contohnya pada tahun 2020, peruntukan untuk emolumen adalah lebih kurang RM71.5 juta. Manakala pada tahun 2022 ini, dalam Belanjawan 2022, peruntukan untuk emolumen hanya RM67.7 juta. Soalan saya ialah adakah ini bermaksud bilangan pekerja perkhidmatan tetap akan ataupun sudah dikurangkan di Jabatan Belia dan Sukan Negara secara khususnya dan secara amnya di Kementerian Belia dan Sukan. Ini kerana kalau kita rujuk kepada Kod Objek Am 10000 untuk keseluruhan kementerian, kita juga mendapati ada penurunan dalam peruntukan daripada segi emolumen. Ketiga, saya nampak ada pertambahan pula untuk Kod 20000. Kalau dirujuk kod ini, merujuk kepada Perkhidmatan dan Bekalan iaitu antara lain, bayaran kepada pekerja kontrak, sambilan, separuh masa dan sebagainya ada peningkatan. Daripada segi emolumen pekerja tetap, ada pengurangan. Manakala untuk peruntukan perkhidmatan dan bekalan ada peningkatan. Jadi, saya hendak tanya adakah ini bermaksud pekerja tetap dikurangkan dan pekerja kontrak ditambah? Keduanya ialah Butiran 020300 – Majlis Sukan Negara. Pada tahun 2020, KBS telah memperuntukkan RM10 juta buat kali pertamanya di bawah pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan untuk pembangunan sukan dan sukan wanita. Ini first time ada peruntukan khusus untuk sukan wanita. Saya hendak tanya, di bawah Belanjawan 2022 ini, berapakah peruntukan khusus kepada pembangunan sukan untuk wanita diberikan? Kemudian, di bawah P.45 Pembangunan. Butiran 01800 – Penyediaan Sukan Antarabangsa sebanyak RM17.5 juta. Saya hendak bagi background ini. Untuk tahun hadapan 2022, kita akan menghadapi tiga acara sukan antarabangsa. Contohnya, Hanoi SEA Games 2021 yang ditunda ke 2022, Hangzhou Asian Games 2022 dan Birmingham Commonwealth Games 2022. Dengan peruntukan RM17.5 juta ini, adakah ia mencukupi sedangkan kalau kita bandingkan dengan peruntukkan belanjawan 2018 yang memperuntukkan RM71.5 juta bagi berdepan dengan Commonwealth Games di Gold Coast 2018 dan Asian Games di Jakarta 2018. Kita nampak perbezaannya amat besar. Adakah ini menunjukkan bahawa KBS Majlis Sukan Negara sudah tidak berminat untuk mengejar pingat dan kemenangan di sukan-sukan antarabangsa ini. Kedua, saya juga difahamkan di bawah peruntukan yang sama. Atlet Paralimpik Tokyo 2020 yang baru diadakan lebih kurang 3 atau 4 bulan yang lepas masih lagi belum menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang mereka layak terutamanya untuk pemegang pingat emas iaitu sebanyak RM1 juta seorang. Sudah hampir tiga bulan lepas acara penutup untuk Tokyo 2020 Paralimpik. Mereka masih lagi belum dapat insentif yang sepatutnya layak diterima mereka. Saya hendak tanya, bilakah insentif ini boleh diberikan dan saya juga hendak mengulangi gesaan saya supaya kerajaan mengurniakan pingat kebesaran Dato’ kepada pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020 iaitu saudara Cheah Liek Hou, saudara Abdul Latif Romly dan saudara Bonnie Bunyau Gustin. Mereka wajar diiktiraf sebagai atlet yang telah menunjukkan prestasi yang begitu cemerlang dalam acara sukan terunggul di dunia. Mungkin juga tentang Butiran – 020300 Majlis Sukan Negara (MSN). Saya hendak tanya status jawatankuasa mencegah gangguan dan penderaan yang dahulunya pada ketika pentadbiran Pakatan Harapan diketuai oleh Datuk Law Beng Choo iaitu bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia dan dianggotai oleh tokoh-tokoh sukan wanita seperti Datuk Marina Chin, Datuk Zaiton Othman dan sebagainya. Saya hendak tanya, apa statusnya terutamanya dengan pendedahan oleh atlet- atlet wanita kita tentang kes-kes gangguan seksual yang berlaku ke atas mereka. Hendak tanya tentang status perkara ini. Terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Jerai.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kerana memberi peluang untuk saya berbahas dalam sesi perbahasan bagi Kementerian Belia dan Sukan. Perkara pertama berhubung B.45. Butiran 010100 – Pengurusan Am. Saya ingin memberi sedikit cadangan berhubung keputusan Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan menurunkan had usia maksimum belia pada 17 November yang lalu. Keputusan ini telah mengehadkan umur mana-mana individu untuk memegang jawatan dalam Persatuan Belia daripada 40 ke 30 tahun. Kita sebenarnya bersetuju dengan keputusan ini. Namun begitu, kita minta ia dikaji semula memandangkan ia memberi kesan kepada banyak pihak terutamanya Persatuan Belia di lapangan. Kita yakin Persatuan Belia ini akan terbubar sekiranya perkara ini dilaksanakan secara mengejut dalam tempoh masa yang terlalu singkat. Akta had umur, Akta Belia 668 (Pindaan) 2019 iaitu had umur belia 15 hingga 30 tahun yang akan bermula pada 1 Januari 2022 perlu dilakukan secara berperingkat. Jika boleh, saya punya pandangan ditangguhkan dahulu sehingga 2023. Pelaksanaan boleh dibuat secara berkala. Sebagai contoh tahun hadapan 30 peratus dalam kalangan umur 30 ke bawah. Tahun lagi sekali, 60 peratus dan tahun seterusnya baru lah 100 peratus umur 30 ke bawah. Jadi, ia tidaklah terlalu tergopoh gapah kita membuat keputusan. Hal ini kerana, berdasarkan pemerhatian apa yang kita dapat lihat dalam masyarakat kita. Mereka yang berusia 30 tahun ke bawah masih lagi sibuk memikirkan kerjaya. Umur 31 ke 40 adalah satu tempoh usia yang boleh kita katakan mereka mempunyai pengalaman yang sangat luas dan stabil dari pelbagai sisi kehidupan. Faktor umur ini juga banyak mempengaruhi hasil sesuatu keputusan. Seterusnya, kedua, P.45 Butiran 02007 – Kompleks Sukan Komuniti. Tahun 2021, sebanyak RM5,513,120 diturunkan menjadi RM1,703,000 pada tahun 2022. Saya merasakan peruntukan bagi butiran ini seharusnya dibesarkan kerana kewujudan Kompleks Sukan Komuniti merupakan sesuatu yang sangat penting.
Kemudahan kompleks sukan bersepadu untuk setiap daerah perlu diwujudkan bagi menggalakkan belia-belia aktif dalam sukan dan sekali gus dapat mengurangkan aktiviti tidak sihat. Di bawah butiran yang sama Tuan Pengerusi, saya berpendapat bahawa menjadi keperluan untuk pihak kementerian menambah kemudahan sukan berprestasi tinggi di Kedah. Sukan berprestasi tinggi ini sangat berbeza pendekatan dengan sukan sebagai rekreasi dan sukan dalam komuniti yang masyarakat terlibat kerana minat, kesihatan, bersosial dan penglibatan adalah secara mengisi masa lapang. Manakala untuk sukan berprestasi tinggi ini, matlamat akhirnya adalah pencapaian tertinggi seperti pingat di Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik. Atlet berprestasi tinggi boleh berlatih setiap hari. Sebagai contoh, di Kedah kita kekurangan kemudahan billiards room. Di Zon Utara masih tiada. Stadium olahraga di Kedah hanya ada sebuah sahaja iaitu Stadium Darul Aman; ia sangat terhad untuk para atlet hendak berlatih kerana berkongsi dengan bola sepak. Ketiga, perkara B.45, Butiran 030900 – Program Belia dan Sukan. Saya memandang positif kenaikan peruntukan pada tahun 2021 iaitu daripada sebanyak RM20,765,600 kepada RM25 juta pada tahun 2022. Kenaikan ini akan membantu golongan belia menjalankan aktiviti dan program yang lebih berimpak besar. Selain itu, saya merasakan sangat perlu dengan peruntukan yang ada agar diberikan kepada pertubuhan belia di setiap Parlimen secara one-off setiap tahun. Saya yakin dan percaya dengan peruntukan sebegini akan memantapkan lagi organisasi setiap pertubuhan belia untuk menganjurkan aktiviti yang berfaedah.
Terakhir, perkara B.45, Butiran 020200 – Pembangunan Kemahiran Belia. Peruntukan bagi butiran ini diturunkan sebanyak RM2 juta. Peruntukan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM189,175,400. Namun, pada tahun 2022, peruntukannya hanya sebanyak RM 164,733,800. Program Pembangunan Kemahiran Belia ini sangat penting terutamanya kepada pelajar yang tercicir. Inisiatif KBS mendaya upaya pergerakan belia; KBS ada menyalurkan dana sebanyak RM7 juta sebagai bantuan pentadbiran. Dana tahunan berkenaan diperuntukkan oleh kerajaan melalui KBS kepada Majlis Belia dan Sukan. Pada kesempatan ini, saya selaku Ahli Parlimen Jerai ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas penerimaan Anugerah Penarafan Lima Bintang kepada Majlis Belia Daerah Yan dan Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Daerah Yan. Sekian sahaja, Tuan Pengerusi. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jerai. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Johor Bahru.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi. Assalamualaikum. Saya terus kepada maksud pembangunan P.45, Butiran 00906 – Program Pembangunan Ahli Sukan – Skim Kumpulan Ahli Sukan. Pada belanjawan yang lepas, untuk makluman Yang Berhormat Menteri, saya telah bangkitkan kepada Yang Berhormat Menteri sebelum ini iaitu Yang Berhormat Kepala Batas mengenai keperluan memberikan perlindungan dan juga peluang kerjaya kepada atlet kita dan juga bekas-bekas atlet. Saya sebut ketika itu secara khusus mengenai kisah saudara Karamjit Singh yang terpaksa menjual kereta dan juga memandu e-hailing bagi kelangsungan kehidupan beliau. Alhamdulillah, selepas kes itu didedahkan, kehidupan beliau bertambah baik. Cuma, pada masa yang sama Yang Berhormat Menteri, saya rasa masih belum nampak sinar kepada para atlet yang lain. Ada ura-ura sebelum ini cakap soal perlindungan skim KWSP ataupun SOCSO PERKESO namun perkara itu tidak tahu statusnya di mana. Jadi, kalau pihak Yang Berhormat Menteri boleh terangkan, terutamanya sukan itu bukan hanya mereka yang Sukan Olimpik. Ada juga kejohanan-kejohanan yang lain mengangkat nama negara. Jadi, mereka sebenarnya wajar dipertimbangkan. Saya juga ada bercakap dengan bekas atlet yang mana selepas kerjaya mereka itu untuk diserap masuk– Itu sebenarnya sangat sukar. Walaupun mungkin ada jaminan pada peringkat Menteri, tetapi program penyerapan itu tidak berlaku. Jadi, ada tenaga kita yang terpaksa berhijrah dan menyumbang bakti di negara lain mungkin sebagai jurulatih. Akan tetapi, perkara ini sebenarnya dapat ditambah baik kerana mereka ini menjadi atlet sejak umur belasan tahun. Latihan itu dari awal. Jadi, berbanding dengan kerjaya yang lain yang mana kita masuk universiti dan sebagainya, alasan yang akan diguna pakai adalah mereka ini tidak ada sijil yang layak untuk perjawatan tertentu sedangkan mereka itu berkorban dari awal. Kedua, kepada Yang Berhormat Menteri, Butiran 02400 – Gelanggang Sukan. Sementara kita tahu ada peruntukan untuk majlis, program dan sebagainya tetapi hakikatnya kegunaan kemudahan di bawah terutamanya di taman-taman dan juga komuniti masyarakat setempat itu tidak berlaku dengan sempurna. Isu utama adalah soal penyelenggaran. Kedua adalah soal kepenggunaan; siapa yang layak pakai dan sebagainya. Pemahaman saya bukan semua kemudahan sukan dalam negara ini terletak di bawah KBS. Malah, lebih banyak pada peringkat yang lain seperti agensi yang lain, Pejabat Daerah, PBT dan sebagainya. Akan tetapi, daripada segi untuk pelaksanaan itu, saya rasa perlu ada garis panduan kepada ataupun daripada KBS supaya infrastruktur itu dijaga dengan sempurna dan rapi.
Hal ini kerana kalau tidak mampu laksanakan, perkara itu akan jadi gajah putih lah di tempat-tempat taman ini. Juga, banyak aduan yang kita tahu bukan baharu tetapi sudah lama, bahawa ada pihak tertentu yang ambil kesempatan mengenakan kadar sewa dan sebagainya atas alasan untuk penyelenggaraan tetapi sebenarnya masuk kantung sendiri, terutamanya orang-orang politik di bawah inilah. Hal ini saya rasa Yang Berhormat Menteri tahu dan arif dalam isu ini. Saya ada soalan khusus berkenaan dengan padang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda. Saya difahamkan KBS sebelum ini ada turunkan peruntukan untuk bina padang baharu; boleh main ragbi di sana. Akan tetapi, penyerahan itu masih belum berlaku. Mungkin ada kerjaya yang belum sempurna. Saya sepatutnya lawat sekolah tetapi masih belum sempat. Cuma, selepas diserahkan itu, penyelenggaraan itu bagaimana? Sama ada diserahkan kepada sekolah dalam keadaan belanjawan penyelenggaraan mungkin tidak dimasukkan sebelum ini. Jadi, mohon pihak KBS dapat tengok padang tersebut sebab itu akan jadi padang utama selain di Dataran Johor Bahru yang mana selalu kita ada kejohanan ragbi di sana. Akan tetapi, saya percaya dengan adanya padang di SMK Bandar Baru Uda ini sangat membantu. Akhir sekali Tuan Pengerusi, Butiran 00601 – Naik Taraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri-negeri. Spesifik juga, di Johor Bahru ada Kompleks Belia dan Sukan Larkin. Memang ada ura-ura hendak dipindahkan dan sebagainya. Malah bagi saya, dalam keadaan sebelum ini Johor Bahru bersiap-sedia untuk menyambut Sukan SUKMA, saya difahamkan bahawa telah ditangguhkan sehingga tahun 2024. Akan tetapi, kemudahan di persekitaran itu sudah siap. Kita sudah ada kolam renang dan arena yang sudah baharu. Kemudian, daripada segi kemudahan di situ sudah ditambah baik. Kompleks Belia dan Sukan itu terletak di tengah-tengah. Jadi, saya memang mengharapkan kalau pihak kementerian dapat kekalkan kompleks tersebut di kawasan itu. Hal ini kerana cadangan perpindahan, kalau di kawasan Mount Austin, walaupun itu nama dalam taman tetapi itu sudah taman yang lain. Jadi, saya harap kalau boleh mohon pertimbangan dengan Yang Berhormat Menteri baharu, hasrat baharu, hendak jadi orang muda. Saya orang muda, jadi saya mohonlah pihak Yang Berhormat Menteri untuk pertimbangkan permohonan ini. Sekian, terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih, Yang Berhormat Johor Bahru. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Parit.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus kepada Butiran 020100 – Belia dan Sukan. Saya melihat peruntukan untuk belia dan sukan ini telah mengalami peningkatan peruntukan daripada RM96,509,800 pada tahun 2021 kepada RM103,948,500 pada tahun 2022. Saya melihat e-Sukan kini menjadi fenomena baharu di kalangan anak muda dan dilihat mempunyai prospek terbaik bagi pembangunan sukan negara dan pada masa yang sama berpotensi untuk dijadikan juga sebagai kerjaya. Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian, apakah terdapat sebarang bentuk program pembangunan e-Sukan yang akan dilaksanakan kepada belia bagi membantu belia menjana pendapatan melalui e-Sukan ini? Adakah terdapat sebarang perancangan oleh pihak kementerian untuk menubuhkan sebuah akademi e-Sukan sebagai salah satu usaha untuk mencari lebih ramai bakat pelapis dalam bidang ini? Tuan Pengerusi, saya mengambil Butiran 020200 – Pembangunan Kemahiran Belia. Saya melihat peruntukan untuk pembangunan kemahiran belia ini telah mengalami penurunan peruntukan yang agak ketara iaitu daripada sebanyak RM189,175,400 pada tahun 2021 kepada RM164,733,800 pada tahun 2022. Saya mohon penjelasan kenapa berlaku pengurangan peruntukan pada butiran ini.
Adakah pengurangan peruntukan ini akan menjejaskan usaha pembangunan kemahiran belia dalam negara dan pemerkasaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai persiapan negara-negara menuju Revolusi Perindustrian 4.0. Bagaimana kementerian akan memastikan pembangunan kurikulum TVET di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa bagi memastikan pelajar TVET tidak tercicir daripada teknologi semasa? Menerusi peruntukan sedia ada ini, sejauh mana kementerian akan menaik taraf peralatan latihan sedia ada dengan tambahan teknologi 4.0 yang terkini? Saya akan menyentuh Butiran 020300 – Majlis Sukan Negara (MSN). Kita semua sedia maklum bahawa negara kita telah banyak kali menyertai siri Sukan Olimpik dan kita juga sedia maklum negara kita juga mempunyai atlet bertaraf dunia. Sungguhpun begitu, sehingga kini Malaysia masih belum pernah memperoleh pingat emas Olimpik. Jadi, saya melihat peruntukan untuk Majlis Sukan Negara ini telah mengalami peningkatan peruntukan dari RM14 juta pada tahun 2021 kepada RM18.36 juta pada tahun 2022. Saya menyambut baik terhadap peningkatan peruntukan ini. Justeru itu, menerusi peruntukan bajet tahun 2022 ini saya ingin mengetahui sejauh manakah usaha pembangunan atlet yang akan dilaksanakan oleh kementerian bagi memastikan pingat emas pertama sukan mampu dicapai pada temasya Olimpik pada masa akan datang. Sejauh manakah usaha yang telah dilaksanakan oleh kementerian dalam memastikan negara kita senantiasa mempunyai atlet pelapis terutamanya dalam sukan yang mempunyai prospek untuk memperoleh pingat emas Olimpik? Jadi, seterusnya Butiran 030500 – Penyelengaraan Peralatan Latihan dan Bangunan IKBN. Menerusi peruntukan pada butiran ini, saya melihat penyelenggaraan peralatan latihan dan pembangunan IKBN telah menerima peruntukan daripada RM6 juta tahun 2021 kepada RM8 juta tahun 2022. Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian. adakah peruntukan yang sedia ini mencukupi untuk menaik taraf serta menyelenggarakan IKBN yang berada di seluruh negara termasuklah IKBN di Seri Iskandar. Berapakah jumlah peruntukan yang disediakan dan adakah terdapat sebarang pertambahan peralatan baharu untuk IKBN khususnya di Seri Iskandar? Terakhir, Butiran 02400 – Gelanggang Sukan. Melalui butiran sukan ini, saya melihat kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM93.59 juta. Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian melalui peruntukan yang sedia ada ini, berapakah jumlah yang akan disediakan kepada Parlimen Parit bagi menyelenggarakan gelanggang-gelanggang sukan seperti gelanggang takraw, badminton, futsal dan lain-lain termasuklah juga di dalam negara kita. Harapan saya mudah-mudahan bentuk-bentuk penyelenggaraan gelanggang-gelanggang ini dapat dimanfaatkan melalui baik pulih dan sebagainya. Jadi, terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Parit. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Lumut.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya juga ingin menyentuh mengenai Kementerian Belia dan Sukan. Sebelum saya masuk kepada butiran-butiran, saya melihat bahawa dalam mukadimah kementerian ini bagi belia progresif, sasaran yang ditetapkan, peratusan kebolehpasaran belia yang mengikuti latihan kemahiran diturunkan daripada 93.25 peratus kepada 90 peratus. Ini satu gambaran yang saya rasa harus merisaukan kita kerana dalam suasana hari ini kita mengharapkan latihan teknikal contohnya di IKBN untuk belia-belia ini, memberikan satu peluang terbuka kepada anak-anak kita untuk masuk ke dalam pasaran. Jadi, penurunan sasaran ini merisaukan saya. Minta kementerian ambil perhatian. Dalam Maksud B.45 Butiran 031000 – Malaysia Future Leaders School (MFLS) yang diperuntukkan RM5.9 juta, Tuan Pengerusi. Saya ingin tahu kriteria yang ditetapkan untuk kita memilih calon-calon bagi mengikuti latihan-latihan di leadership school ini.
Apakah pencapaian yang telah kita dapat dan apakah prestasi mereka dalam bidang- bidang yang mereka telah dilatih, sama ada dalam bidang ekonomi ataupun pendidikan ataupun politik kalau ada? Saya mohon penjelasan. Keduanya, Butiran 031400 – Sepang International Circuit Sdn Bhd. yang hanya diberikan RM4.5 juta. Kalau kita lihat ada perkembangan di luar negara, jiran negara kita Indonesia yang membina circuit F1 di sebuah pulau yang cantik di Pulau Lombok Mandalika yang bukan sekadar akan menarik perhatian perlumbaan F1 ini tetapi juga sebagai tempat pelancongan yang baik. Jadi, apakah tindakan kementerian dalam hal ini untuk memastikan Sepang International Circuit ini yang sudah tidak ada menjalankan atau membawa masuk F1 racing ini, apakah langkah yang diambil untuk memastikan Sepang International Circuit ini juga menjadi sasaran pelancongan bagi negara kita? Untuk Maksud P.45 Butiran 02400 – Gelanggang Sukan, dibaca bersekali dengan Butiran 02007 – Kompleks Sukan Komuniti yang disediakan hampir RM95 juta bagi dua tajuk tersebut. Saya ingin mencadangkan supaya kompleks sukan komuniti ini diberikan perhatian lebih. Saya mencuba di kawasan Lumut untuk membina sebuah tempat main bola yang kecil dengan harga yang munasabah. Akan tetapi dapat dimanfaatkan oleh orang kampung. Kita tidak boleh buat satu pusat ini, futsal contohnya di peringkat daerah. Ini kerana yang hendak disasarkan ialah orang-orang, anak-anak muda di kampung. Jadi kalau boleh diterjemahkan peruntukan gelanggang sukan ini kepada projek- projek kecil sedemikian, kita akan dapat lebih banyak projek di kampung-kampung dan lebih banyak penglibatan anak-anak kita dalam sukan. Selain daripada itu, di kawasan Lumut juga saya mencadangkan kepada kementerian untuk menimbangkan pembinaan sebuah mini stadium di kawasan Lekir yang ada sudah tapak disediakan oleh kerajaan negeri. Sudah di tanda di situ. Jadi, kalau boleh kita buat satu pusat sukan yang boleh membangunkan kawasan tersebut yang pada masa ini masih lagi ketinggalan dan dianggap sebagai kawasan pertanian yang tidak berapa cepat membangun. Seterusnya, Butiran 00906 – Program Pembangunan Ahli Sukan – Skim Kumpulan Ahli Sukan yang diperuntukkan RM32 juta. Agak banyak. Kita nampak pencapaian ahli-ahli sukan kita sehari dua inilah amat membimbangkan. Badminton yang kita berikan perhatian nampaknya tidak menghasilkan keputusan-keputusan di dalam sirkuit antarabangsa yang mereka sertai buat ketika ini. Di kejohanan-kejohanan terbuka negara-negara yang terakhir, saya tengok di Indonesia pun kita gagal. Jadi, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian untuk memastikan peruntukan sebanyak ini dapat menghasilkan pulangan dari segi imej kita di dalam bidang sukan? Terakhirnya, Butiran 01800 – Penyediaan Sukan Antarabangsa RM17.5 juta. Ke manakah sasaran sebenarnya? Sukan manakah untuk tahun depan ini yang disasarkan dengan jumlah yang kecil sedemikian? Sama ada kita akan juga menumpukan kepada sukan-sukan yang Malaysia ada tetapi tidak berapa popular seperti kriket yang sekarang ini di peringkat antarabangsa lebih-lebih lagi negara Komanwel ini semakin meningkat minat di kalangan rakyatnya. Adakah kriket akan dijadikan juga sukan yang popular? Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Lumut. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Tebrau.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi kerana mengizinkan saya sertai perbahasan ini. Tuan Pengerusi, walaupun Kementerian Belia dan Sukan telah diwujudkan sejak tahun 1944 tetapi kelihatan kelemahan dua organisasi iaitu Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara di mana perancangan tahunan yang kelihatan tidak menyeluruh dan tiada impak serta pelan tindakan yang tidak kelihatan efektif. Apakah sebabnya? Bagaimanakah peranan yang dimainkan oleh anak syarikat milik KBS yang menganjurkan sesuatu kejohanan dengan peruntukan kerajaan tetapi kurang membawa
pulangan yang berprestij serta impak yang besar kepada negara? Ini adalah di bawah Butiran 020100 – Belia dan Sukan.
Seterusnya adalah Butiran 020200 iaitu Pembangunan Kemahiran Belia. Tuan Pengerusi, saya memohon maklumat daripada kementerian secara terperinci. Sejauh manakah kerajaan telah berjaya membangunkan kemahiran belia? Sekiranya ada kelemahan, apakah langkah-langkah yang sedang atau akan diambil bagi mengatasi masalah-masalah tersebut supaya belia negara kita dapat kemahiran yang sesuai untuk pasaran pekerjaan di negara kita? Seterusnya adalah Butiran 030600 iaitu Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak di Institut Latihan KBS. Tuan Pengerusi, saya melihat butiran ini kerana ini adalah satu butiran baharu. Sebelum ini, tiada peruntukan yang diberikan. Jadi, saya minta penjelasan daripada Menteri, apa sebabnya sebelum ini tiada dan sekarang sudah diberikan bajet sebanyak RM42.5 juta? Adakah ini cukup atau lebih? Jadi, minta maklumat terperinci, adakah pemilihan kontraktor akan dilakukan secara tender terbuka atau cara yang lain? Butiran yang seterusnya adalah mengenai Butiran 030800 iaitu Elaun Pelajar Institut Latihan Kemahiran Belia. Tuan Pengerusi, di bawah butiran ini saya ingin bertanya, sejauh manakah kerajaan dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang serta bermutu kepada negara kita? Apakah KPI pencapaian bagi penerimaan elaun? Ini akan menyebabkan pelajar akan lebih fokus serta serius dalam menimba kemahiran. Selain itu, adakah elaun latihan yang diberikan di antara RM100 hingga RM300 memenuhi atau mencukupi keperluan bagi setiap pelajar? Seterusnya adalah Butiran 030900 iaitu Program Belia dan Sukan. Tuan Pengerusi, di bawah tajuk ini, saya ingin bertanya, adakah sistem rancangan pembangunan atlet itu spesifik? Di mana pembangunan kriteria menjurus pada kesukaran untuk menyalurkan keperluan kepada atlet yang mampu meraih pingat emas untuk negara. Adakah atlet dapat dilatih secara optimum memandangkan terdapat kelompangan daripada segi pengurusan serta kemudahan yang mencapai tahap kejohanan? Apakah kursus atau bengkel yang melibatkan pemimpin belia setempat dalam pemurnian SOP atau garis panduan dalam melatih belia melaksanakan program? Butiran yang terakhir adalah Butiran 031400 iaitu Sepang International Circuit Sdn Bhd. Tuan Pengerusi, di bawah butiran ini, SIC telah bertapak selama 20 tahun. Saya melihat terdapat banyak pengurangan terhadap peruntukan tersebut. Apakah sebabnya? Adakah kerajaan masih mahu mengekalkan perlumbaan Formula 1? Kalau tidak, apakah pelan tindakan kerajaan supaya SIC ini tidak jadi satu tapak terbiar? Itu sahaja daripada saya. Saya mohon menyokong bajet ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Yang Berhormat Sandakan tidak ada dalam Dewan. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Setiu.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Pengerusi, saya menyentuh Butiran 020100 iaitu Belia dan Sukan. Berdasarkan kajian, ekonomi gig mampu menarik lebih ramai orang dewasa, orang muda ataupun golongan belia. Jumlah pekerja dalam ekonomi gig meningkat hari demi hari. Peningkatan ini juga menzahirkan negara kita telah bersedia mengalami transisi perubahan landskap pekerjaan daripada pekerjaan tradisional kepada moden. Oleh itu, langkah KBS melancarkan program myGIG sebagai pendekatan strategik menyokong belia dan ekosistem ekonomi gig pasca COVID-19 dilihat amat wajar sekali.
Namun, sehingga hari ini, masih belum ada apa-apa akta yang boleh melindungi mereka khususnya para belia yang berkecimpung dalam bidang ini, menyebabkan masa depan serta kebajikan mereka diabaikan. Oleh itu, adakah pihak kementerian telah mengadakan kajian untuk mewujudkan apa-apa akta mahupun garis panduan yang boleh menjaga kebajikan para belia yang menyertai ekonomi gig ini? Perkara seterusnya pada butiran yang sama berkaitan masalah mental belia. Umum mengetahui kes kesihatan mental dalam kalangan belia amat kritikal, lebih-lebih lagi pasca pandemik COVID-19. Kajian menunjukkan kemurungan dan keresahan yang berlaku dalam kelompok ini disebabkan mereka suka membandingkan diri dengan orang lain terutama di media sosial. Malah sesetengah kes membawa pada bunuh diri dan lain-lain lagi. Oleh itu, apakah langkah kerajaan bagi mengatasi masalah mental dalam kalangan belia ini? Adakah wujud insentif serta peruntukan khusus bagi menangani masalah ini secara holistik? Dalam butiran ini juga, saya ingin menyentuh berkaitan dengan, adakah kerajaan menyediakan geran tahunan kepada semua pertubuhan belia? Kalau ada, berapakah jumlah yang disalurkan kepada setiap pertubuhan dan apakah kriteria yang membolehkan mereka mendapat geran tersebut? Saya dapati banyak prasarana sukan yang lambat dibaikpulih, menyebabkan kerosakan bertambah teruk dan akhirnya terpaksa dilupuskan. Saya mencadangkan agar kerajaan dapat membuat pemantauan sepanjang masa terhadap semua kemudahan sukan yang telah dibina dan segera melakukan pembaikan apabila berlaku kerosakan kecil. Saya juga ingin bertanya, apakah status terkini gelanggang futsal terbuka yang dibina di bawah Kementerian Belia dan Sukan? Adakah ia akan dibaikpulih ataupun akan dilupuskan? Butiran 020300 iaitu Majlis Sukan Negara (MSN). Saya mendapat maklumat, ada program berkaitan dengan kesedaran agama dalam kalangan atlet beragama Islam di Majlis Sukan Negara. Persoalan saya, apakah program agama yang telah dilaksanakan dan sejauh manakah program ini dapat membentuk atlet yang mempunyai keperibadian dan kesedaran agama yang tinggi? Tuan Pengerusi, perkara seterusnya ialah pada Butiran 020500 iaitu Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD). Berdasarkan tiga aspirasi Keluarga Malaysia sempena 100 hari Kementerian Belia dan Sukan adalah untuk pembangunan belia serta pemerkasaan semula sektor sukan. Salah satunya melalui Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB) yang bertujuan untuk melahirkan belia yang bertanggungjawab kepada pembentukan negara. Oleh itu, saya mohon penjelasan lanjut mengenai Model Baharu Pembangunan Belia ini. Selain itu, penglibatan belia dalam bidang politik masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan. Berdasarkan skor yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia 2020, hanya 27.75 peratus sahaja belia yang menyertai bidang politik. Oleh itu, program kesedaran tentang undi 18 tahun amat wajar sebagai salah satu cara untuk memberi kesedaran kepada anak muda tentang kepentingan politik. Namun begitu, adakah program ini khusus diadakan untuk memberi input tentang persediaan mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun? Jika ya, apakah program lain yang telah disediakan bagi meningkat cakna para belia khususnya dalam aspek politik? Tuan Pengerusi, perkara seterusnya Butiran 020400 iaitu Institut Sukan Negara (ISN).
Masa sudah tamat, cepat sikit ya, Yang Berhormat.
Pandemik COVID-19 meninggalkan impak yang besar kepada penggiat-penggiat sukan dan rekreasi. Mereka terpaksa membuat penganjuran program ataupun aktiviti secara virtual. Namun isunya, adakah kekurangan kemudahan ataupun peralatan digital yang amat terhad? Oleh itu, adakah pihak kerajaan bercadang untuk meningkatkan penggunaan peralatan digital sebagai persediaan kepada penularan wabak pada masa hadapan, sekali gus mampu meningkatkan kemahiran baharu pada para belia? Akhir sekali Tuan Pengerusi, Butiran 031000 – Malaysia Future Leaders School (MFLS). Peruntukan pada Bajet 2021 sebanyak RM16.56 juta. Bagaimanapun peruntukan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM5.95 juta sahaja, pengurangan sehingga RM11 juta berbanding tahun sebelumnya. Apakah punca pengurangan peruntukan pada butiran ini? Mohon penjelasan. Sekian, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Setiu. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Batu.
Terima kasih Tuan Pengerusi untuk bagi peluang pada Batu untuk ambil bahagian. Saya ingin sentuh berkaitan dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Apa yang saya nampak di sini, jumlah perbelanjaan mengurus jauh lebih besar daripada jumlah pembangunan iaitu beza sebanyak RM292 juta. Perbelanjaan mengurus sahaja sampai RM622 juta, manakala perbelanjaan pembangunan cuma RM329 juta. Di mana saya rasa tidak mencukupi untuk Kementerian Belia dan Sukan ataupun negara kita untuk melahirkan atlet-atlet daripada akar umbi. Peruntukan untuk program belia dan pembangunan, contoh Butiran 031000 - Malaysia Future Leaders School (MFLS) dan Butiran 020200 - Pembangunan Kemahiran Belia, juga telah dipotong. Program-program ini adalah untuk program kepimpinan belia dan juga mempersiapsediakan belia dengan kemahiran demi memperkasakan Technical Vocational Education Training (TVET) bagi melahirkan pelajar kemahiran tinggi. Manakala program latihan dan pembangunan, Butiran 031300 - Program Latihan dan Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara, hanya ditambah sebanyak RM500,000 sahaja yang diperlihatkan kerajaan tidak serius dalam pencarian bakat sukan daripada peringkat akar umbi. Apa yang saya nampak, selebihnya peruntukan di KBS banyak disalurkan untuk menaiktarafkan fasiliti sukan. Contoh, Butiran 02400 - Gelanggang Sukan, Butiran 02100 - Naik Taraf Kompleks Sukan Negara, Butiran 00300 - Naiktaraf Kompleks Sukan Labuan dan juga Butiran 010200 - Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). Kalau kita juga tengok Butiran 05000 - Dana Pembangunan Produk Sukan, yang pihak KBS perlu jelaskan apa itu produk sukan? Tiba-tiba boleh naik kepada RM4.5 juta. Saya pergi ke Butiran 01800 - Penyediaan Sukan Antarabangsa. Tuan Pengerusi, tahun depan kita akan adakan tiga sukan antarabangsa iaitu Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Bagi tiga-tiga sukan level antarabangsa ini dengan peruntukan disediakan iaitu RM17.5 juta, saya rasa peruntukan ini tidak mencukupi untuk persediaan atlet. Di mana kalau kita hendak tengok kejohanan dari ketiga-tiga sukan ini, kita perlukan peruntukan yang lebih besar supaya persediaan atlet-atlet ini dapat kita membantu. Berdasarkan peruntukan KBS, kita dapat melihat output KBS untuk jangka masa panjang tidak dilaburkan untuk program belia iaitu untuk anak-anak muda kita mahupun program pembangunan sukan. Ini adalah satu tamparan besar buat industri sukan negara kerana Belanjawan 2022 mengabaikan kelompok ini. Bukan itu sahaja, golongan belia seolah-olah dipinggirkan oleh pihak KBS, sebaliknya banyak ditumpukan oleh perbelanjaan mengurus dan naik taraf fasiliti sukan. Tuan Pengerusi, dengan izin, no point we built an international stadium kalau kita tidak ada bakat-bakat anak muda ataupun atlet-atlet anak muda untuk menggunakan
fasiliti tersebut. Setiap tahun ada fasiliti naik taraf, upgradation fasiliti sukan, gelanggang tetapi kita tidak nampak atlet-atlet kita perform di sukan antarabangsa. Oleh sebab itu, peruntukan ini dilihat tidak adil untuk pemegang taruh persatuan belia dan juga pemain industri sukan negara. Adakah keutamaan KBS hanya ingin mengayakan individu tertentu yang memperoleh keuntungan dalam projek naik taraf fasiliti sukan ini? Saya minta pihak KBS menyenaraikan senarai penuh syarikat yang memperoleh tender untuk menaik taraf fasiliti sukan yang terbabit. Selain itu, saya juga ingin mengingatkan Menteri Belia dan Sukan untuk memberi senarai penuh kompleks yang dinaiktarafkan oleh pihak KBS seperti diminta ketika ucapan dasar yang lalu untuk tujuan pemantauan daripada Ahli Parlimen kawasan berkenaan. Untuk penutup, saya juga ingin sentuh berkaitan dengan isu yang tengah viral sekarang. Di mana had umur persatuan belia. Saya difahamkan bahawa KBS telah menurunkan had umur dalam persatuan belia daripada 35 tahun kepada 30 tahun. Saya meminta Menteri ataupun KBS untuk teliti balik inisiatif ini sebab perkara ini menimbulkan banyak kemarahan dalam persatuan-persatuan belia. Pihak MBM juga tidak setuju dengan perkara dan banyak kali minta berjumpa dengan Menteri. Beberapa hari lalu mereka telah buat satu protes ataupun penyerahan memorandum di KBS dan hari ini pula mereka dipanggil ke IPD Putrajaya untuk siasatan. Saya mohon dekat Menteri ataupun kerajaan untuk membantu belia-belia ini, bukan mengambil tindakan berat sebegini. Mereka hanya hendak bersuara. Apabila Menteri atau kerajaan membuat satu inisiatif, panggillah golongan-golongan tersebut untuk dapatkan konsultasi ataupun pandangan daripada mereka. Tiba-tiba buat pengumuman, had umur sudah turun. Selepas itu, ini menimbulkan kemarahan. Mereka serah memorandum, sekarang mereka ada di IPD Putrajaya. Tindakan telah diambil. Saya mohon Menteri dan kerajaan meneliti balik perkara ini dan membantu golongan-golongan yang telah diambil tindakan daripada pihak polis. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Tumpat.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Pertamanya, saya ingin sentuh mengenai Butiran 010300 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES). Pertama, saya ingin- beberapa perkara yang ingin saya sentuh dalam butiran ini. Pertama, saya difahamkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia pernah menjalankan kajian literasi kesihatan mental dalam kalangan belia di bawah kelolaan UKM. Soalan saya, apakah hasil kajian tersebut? Bagaimana kajian tersebut dapat menyumbang kepada intervensi dasar yang sesuai untuk digubal oleh kerajaan dalam menangkapi peningkatan kes-kes gangguan kesihatan mental pasca pandemik, khususnya kepada golongan belia? Kedua, apakah ada kajian yang teliti untuk menyemak semua Indeks Belia Malaysia? Sejauh mana tahap pengukuran Indeks Belia Malaysia ditekankan dalam mengukur aspek pembinaan adab dan akhlak dalam kalangan belia pada hari ini? Ketiga, apa rancangan kementerian untuk memupuk kesedaran dan memastikan peranan belia dapat diaktifkan dalam menolak budaya buli? Apakah ada kajian dan sesi libat urus dilaksanakan bagi memastikan budaya buli ini dapat dihapuskan dalam masyarakat, khususnya di kalangan belia-belia sama ada yang masih berada di sekolah- sekolah ataupun pusat pengajian tinggi ataupun yang telah menamatkan zaman persekolahan? Keempat, saya ingin juga mengetahui sejauh mana program-program kajian dilaksanakan bagi mengukuhkan jati diri belia negara yang semakin terhakis ketika ini,
yang menjadi penyebab kepada banyak salah laku di kalangan belia dalam masyarakat pada masa ini. Seterusnya, saya ingin menyentuh Butiran 020300 – Majlis Sukan Negara.
Kita sedia maklum, tahun hadapan atlet negara berhadapan dengan jadual kejohanan antarabangsa yang sangat padat. Antaranya adalah Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada Februari, Sukan Komanwel Birmingham pada Julai, Sukan Asia Hangzhou pada September, begitu juga Sukan Solidariti Islam di Turki serta Sukan Dalam Dewan Asia. Kepadatan jadual ini memerlukan kepada perancangan yang rapi dan persiapan yang sistematik bagi memastikan para atlet dapat mengekalkan prestasi yang cemerlang serta dalam masa yang sama, mengelakkan risiko kecederaan. Oleh itu, soalan saya, apakah kementerian mempunyai perancangan rapi mengenai penglibatan atlet dalam siri-siri kejohanan antarabangsa kelak bagi mengelakkan risiko kecederaan serta saya juga ingin mengetahui mengenai sasaran kerajaan ataupun kementerian terhadap beberapa kejohanan utama antarabangsa yang akan berlangsung pada tahun hadapan. Seterusnya Tuan Pengerusi, saya ingin menyentuh Butiran 020100 – Belia dan Sukan. Pada butiran ini, saya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan bola sepak negara berdasarkan kepada dokumen perancangan jangka panjang FAM, Roadmap 2019-2030 (F:30). Dalam dokumen tersebut, kita meletakkan satu rancangan pembangunan bola sepak cara Malaysia yang menyebutkan DNA serta falsafah bola sepak negara. Persoalannya, di mana falsafah bola sepak negara ketika ini? Mengapakah kita tidak mampu mengekalkan konsistensi corak permainan berdasarkan falsafah kita yang tersendiri, khususnya bermula perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia 2023 di UAE beberapa bulan yang lalu. Mengenai program pembangunan bola sepak negara pula, saya ingin bertanyakan, apakah kerajaan tidak bercadang untuk merundingkan semula untuk mengembalikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah NFDP yang dilihat berjaya membangunkan akar umbi bola sepak negara sehingga lahirnya ramai pemain muda berbakat. Sejujurnya, langkah yang diambil kementerian dengan meminggirkan beliau daripada NFDP dilihat sebagai mengundurkan semula bola sepak negara ke belakang. Sedar atau tidak, kejayaan program NFDP di bawah kelolaan beliau sedang kita tuai hasilnya selepas kejayaan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia bawah 23 tahun Uzbekistan pada tahun hadapan. Sewajarnya beliau diberikan peranan yang lebih layak dengan pencapaiannya itu. Saya begitu berkeyakinan jika pembangunan bola sepak akar umbi kita kukuh dan bersepadu, kita tidak terlalu terpaksa mengharapkan pemain import yang dinaturalisasikan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Seterusnya Tuan Pengerusi...
Masa sudah habis.
Perenggan terakhir. Hari ini skuad hoki bawah 21 tahun telah menempah tiket ke suku akhir Junior World Cup Bhubaneswar 2021. Kita berbangga dengan pencapaian skuad hoki negara ini dan mereka jugalah prospek pemain utama negara kelak. Kita juga telah mempunyai pencapaian yang sama dalam pasukan bola sepak bawah 23 tahun. Jadi, pembangunan bola sepak ini tidak terus diperkasa dengan baik sebagaimana yang terkandung dalam roadmap FAM sendiri. Oleh itu, mohon perhatian kerajaan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Batu Gajah.
Terima kasih Tuan Pengerusi. B.45, Butiran 020000 – Pembangunan Belia dan Sukan. Kita masih gagal mewujudkan satu budaya sukan yang unggul bagi negara kita. Sebahagian besar rakyat negara kita tidak melihat sukan sebagai amalan terpenting dalam hidup mereka. Tahap penglibatan rakyat dalam bidang sukan adalah masih sederhana. Menurut hasil dapatan kajian indeks sukan pada tahun 2019, hanya 66.1 peratus daripada populasi rakyat Malaysia bergiat aktif dalam bidang sukan. Apakah usaha-usaha yang telah diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan penglibatan rakyat dalam sukan kepada tahap yang lebih tinggi supaya negara kita boleh mencapai status negara bersukan? Setiap Ahli Parlimen harus mengambil inisiatif untuk membantu mempromosikan dan menggiatkan sekurang-kurangnya satu bidang sukan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah menganjurkan kelas karate bersubsidi untuk kanak-kanak dan percuma untuk golongan dewasa sejak tiga tahun yang lalu. Sokongan dan sambutan adalah amat menggalakkan. Apakah usaha-usaha kerajaan untuk memastikan sukan tidak beridentitikan kaum? Identiti kaum dalam sukan dengan sendirinya telah melemahkan semangat kesukanan yang tulen. Peluang harus diberikan berdasarkan merit dan bukannya berdasarkan kaum. Apakah mekanisme yang diwujudkan untuk memastikan tidak wujud perkauman dalam bidang sukan, terutamanya apabila kita membuat pemilihan di peringkat sekolah lagi? Sejauh manakah kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha-usaha menyuburkan bidang sukan kepada murid-murid dan guru-guru? Saya juga ingin tahu, apakah status polisi 1Murid 1Sukan? Tuan Pengerusi, sukan adalah merupakan satu industri yang begitu besar dan dapat memberikan sumbangan yang signifikan, bukan sahaja dari segi kemanusiaan dan sosial, tetapi pembangunan ekonomi negara yang ketara. Di samping itu, laluan khas kemasukan ahli-ahli sukan ke universiti-universiti, khususnya bagi kursus-kursus sains sukan perlu ditingkatkan. Generasi ahli-ahli sukan yang terpelajar pasti dapat menyumbangkan kepada aspirasi negara dalam membangunkan sektor sukan. Oleh sebab pendekatan sains sosial adalah merupakan nadi prestasi sukan, maka fokus dan penekanan yang optimum dapat memastikan kejayaan sektor sukan negara. Tuan Pengerusi, sains sukan merupakan satu cabang dalam sains yang mengkaji respons manusia terhadap aktiviti fizikal. Jadi, bidang ini merangkumi sosiologi, biomekanik, anatomi, psikologi dan lain-lain topik seperti pemakanan, pengurusan sukan, sosiologi dan psikologi dalam sains sukan. Ia membantu memahami tindak balas badan manusia seperti organ, sistem saraf, sistem otot dan tenaga dalam badan semasa melakukan sesuatu sukan. Sains sukan adalah satu bidang yang luas merangkumi sains tulen, sains sukan gunaan, sains sukan generik dan sebagainya. Bidang sains sukan perlu diberikan perhatian khusus untuk pembangunan sektor sukan di negara kita. Saya ingin mengetahui antara universiti-universiti, yang manakah menawarkan kursus sains sukan bersama- sama dengan jumlah pengambilan pelajar setiap tahun. Saya juga mencadangkan supaya institusi-institusi pengajian tinggi seperti politeknik dan kolej komuniti juga menawarkan kursus sains sukan. Selain itu, penubuhan sebuah universiti sukan juga akan meningkatkan tahap sukan negara ke taraf antarabangsa. Tuan Pengerusi, Butiran 01800 – Penyediaan Sukan Antarabangsa. Karate adalah sukan yang berpotensi tinggi di negara kita. Sukan ini juga pernah menaikkan nama negara kita dalam banyak temasya sukan di peringkat antarabangsa. Sukan ini boleh dibawa ke tahap yang lebih tinggi jika kerajaan memberi sokongan dan dukungan. Apakah perancangan kerajaan untuk membangunkan dan memajukan sukan karate negara kita? Apakah perspektif kerajaan terhadap sukan ini dan persediaan kita untuk menghadapi pertarungan di persada antarabangsa?
Saya mencadangkan supaya Kementerian Belia dan Sukan memberi peruntukan dana untuk tujuan pembangunan dan pengurusan sukan karate bagi setiap negeri supaya dapat menghasilkan pemain-pemain yang lebih berkualiti. Kerajaan juga perlu memberi peruntukan untuk melahirkan lebih ramai jurulatih karate bertaraf antarabangsa. Tuan Pengerusi, sedikit sahaja lagi.
Cepat sedikit, masa sudah habis.
Butiran terakhir, Butiran 02400 – Gelanggang Sukan. Padang bola sepak yang telah digazetkan di Kampung Muhibbah Ara Payung, Batu Gajah perlu dinaiktarafkan. Ramai anak muda dan kanak- kanak di kawasan perumahan di sekitar kawasan ini bermain bola sepak di padang ini walaupun tidak mempunyai apa-apa fasiliti. Kawasan ini terdiri daripada pelbagai kaum dan amat memerlukan padang ini dijadikan sebagai padang bola sepak dan tapak rekreasi. Saya berharap kementerian menyalurkan peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan, tambak tanah, menanam rumput, memasang pagar dan fasiliti lain. Saya menganggarkan kerja-kerja naik taraf padang bola ini memerlukan peruntukan dana dalam lingkungan RM800,000. Saya mohon pertimbangan Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan untuk meluluskan permohonan ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah. Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Kuala Krai.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan.
Saya ingin menyentuh Maksud B.25 Butiran 030900 – Program Belia dan Sukan. Tuan Pengerusi, saya ingin bertanya apakah program yang akan dirancang oleh pihak kementerian pada tahun 2022 untuk negeri Kelantan. Dalam masa yang sama, adakah terdapat program khusus untuk kawasan saya iaitu Kuala Krai. Pada kesempatan ini, saya ingin menyatakan dan amat berharap agar program- program yang dirancang ini perlu lebih menjurus ke arah membina jati diri dalam kalangan belia termasuk elemen yang terpenting iaitu elemen agama dan ianya haruslah bertujuan untuk melahirkan masyarakat sivik yang bersesuaian dengan hasrat Perdana Menteri dalam membina Keluarga Malaysia. Selain itu, adakah kita mempunyai kecukupan pegawai sukan di setiap daerah. Dalam masa yang sama, saya memohon kepada pihak kementerian menambah bilangan pegawai di setiap daerah selain daripada pegawai yang sedia ada saya ingin mencadangkan pegawai-pegawai yang mahir di dalam bidang agama dan juga motivasi menjadi keutamaan pihak kementerian untuk diambil. Ia menjadi keperluan mutakhir ini bagi membina sebuah masyarakat yang lebih beriman, bertakwa dan bertanggungjawab kepada negara. Bermula pada tahun hadapan, kita semua tahu anak muda yang berusia 18 tahun ke atas sudah dapat mengundi. Saya ingin mengesyorkan pihak kementerian turut menerapkan kesedaran tentang tanggungjawab berkaitan dengan demokrasi dan pilihan raya. Persediaan dan kesedaran awal ini sangat penting bagi memastikan golongan muda ini memahami akan kepentingan pilihan raya dalam memilih pemimpin yang terbaik untuk mentadbir negara ini. Dalam masa yang sama, saya ingin bertanyakan kepada pihak kementerian apakah langkah dan perancangan dalam memberikan kesedaran kepada golongan muda
ini bagi menghadapi pilihan raya dan adakah pihak kementerian sudah bersiap sedia melaksanakan perancangan yang telah dirancang oleh pihak kementerian. Tuan Pengerusi, saya ingin menyentuh Maksud P.45 Butiran 00601 – Naik Taraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri-negeri. Saya ingin mengucapkan tahniah atas kenaikan perbelanjaan melebihi 100 peratus untuk butiran ini. Ini menunjukkan kerajaan Keluarga Malaysia sangat memandang serius keperluan untuk menaik taraf kompleks belia dan sukan negeri-negeri. Negeri Kelantan misalnya jauh tertinggal berkaitan kompleks belia dan sukan ini dan amat memerlukan terutama untuk persiapan menghadapi SUKMA 2026 nanti. Insya- Allah, hanya Kelantan satu-satunya negeri di Malaysia yang belum menganjurkan SUKMA ini. Saya harap penganjuran di Kelantan nanti menjadi antara penganjuran terbaik SUKMA, insya-Allah. Pembinaan Stadium Bukit Merbau yang bakal menjadi venue utama SUKMA 2026, semestinya diiringi venue-venue lain di setiap daerah agar penganjuran sukan ini dapat dirasai oleh penduduk setiap daerah. Kuala Krai sendiri merupakan antara daerah yang melahirkan ramai pemain sepak takraw yang berbakat dan berkaliber. Pemain negeri malah pemain negara juga ada yang berasal dari Kuala Krai. Oleh yang demikian, saya sangat berharap venue utama untuk sepak takraw nanti akan diwujudkan di Kuala Krai. Tentunya jika hasrat dan impian ini tercapai kita akan dapat melihat suatu hari nanti Kuala Krai akan menjadi daerah yang bakal melahirkan bakat- bakat pemain sepak takraw terbaik di Malaysia dan di dunia. Dalam masa yang sama, saya juga berharap daerah-daerah lain juga mendapat limpahan kemajuan daripada SUKMA 2026 yang akan dilaksanakan nanti. Saya mohon kepada pihak kementerian memperincikan jenis sukan dan daerah yang terbaik dan menonjol dalam bidang sukan masing-masing dan venue-venue tersebut dibina berdasarkan kepada perkara tersebut. Saya yakin penganjuran SUKMA 2026 nanti di Kelantan, tidak hanya akan menjadi meriah semasa temasya berlangsung tetapi ia akan menjadi titik tolak untuk melahirkan atlet-atlet yang terbaik di negara dan di dunia. Tuan Pengerusi, yang terakhir ialah Maksud P.45 Butiran 02007 – Kompleks Sukan Komuniti. Di Kuala Krai, terdapat banyak gelanggang futsal yang telah dibina sebelum ini yang perlu di naik taraf kerana ianya dibina secara terbuka iaitu tiada bumbung yang menutupinya. Gelanggang ini tidak dapat digunakan semasa musim hujan apatah lagi di musim tengkujuh seperti sekarang ini. Saya mencadangkan kepada pihak kementerian untuk menaik taraf gelanggang-gelanggang futsal ini kepada gelanggang futsal tertutup iaitu membina bumbung agar ia dapat digunakan sepanjang masa. Selain itu, saya juga mencadangkan diadakan pencahayaan dan lampu limpah agar ia dapat digunakan pada waktu malam. Dengan adanya kemudahan ini, pastinya nanti kegiatan sukan dapat berlangsung sepanjang masa dan ia akan memberi kebaikan daripada segi kesihatan kepada anak-anak muda selain mengelakkan mereka terjerumus kepada aktiviti yang tidak berfaedah seperti lumba haram, dadah, lepak dan sebagainya. Itu sahaja Tuan Pengerusi, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Tampin.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Bismillahi Rahmani Rahim. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Saya terlibat di dalam perbahasan ini mengucap tentang B.45 Butiran 020000 – Pembangunan Belia dan Sukan di mana peruntukan yang diberikan yang mencecah kepada RM335 juta, berkurangan hampir RM10 juta daripada peruntukan yang lepas. Kalau kita dapati pembangunan belia amat penting demi masa depan negara yang lebih cemerlang khususnya pembangunan kemahiran belia dalam pelbagai aspek. Negara memerlukan belia yang mempunyai kemantapan ilmu, ketinggian akal dan kehebatan nilai diri ataupun sahsiah.
Oleh kerana itu, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan memainkan peranan yang penting dalam membina kekuatan generasi belia akan datang. Saya ingin bertanya apakah peruntukan itu dikhususkan kepada persatuan-persatuan belia yang ada di dalam negara ini, banyak organisasi belia negara ini bergerak berdasarkan kesukarelawanan tanpa pendanaan yang sewajarnya. Ini kerana itu, saya mencadangkan supaya kerajaan memberikan dana yang sewajarnya kepada persatuan- persatuan belia di negara ini supaya mereka dapat bergerak dengan baik. Butiran 00601 berkaitan dengan naik taraf Kompleks Belia dan Sukan di negeri- negeri dan Butiran 02400 – Gelanggang Sukan yang sewajarnya dipergiatkan pembangunannya. Ini kerana dengan adanya gelanggang kesukanan ini akan dapat membangunkan aktiviti-aktiviti sukan dan juga mengurangkan aktiviti negatif di kalangan belia. Saya ingin bertanya, sejauh manakah pembangunan Mini Stadium Gemas dan menaik taraf Mini Stadium Tampin yang berada di kedudukan yang belum dan tidak terurus dengan baik dan juga Stadium Gemas belum dapat dilaksanakan dengan sewajarnya walaupun peruntukan telah diluluskan. Sebagai stadium daerah yang mana kita dapati Stadium Tampin trek lariannya yang agak tidak sesuai dan malah kalau ianya dilaksanakan dan sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini kepada para atlet kita yang beraksi di stadium tersebut. Saya juga ingin bertanya, apakah masih ada program pertukaran belia antarabangsa dalam mendedahkan belia kita terlibat dengan dunia antarabangsa. Kalau masih ada, saya ingin bertanya adakah peruntukan yang diberikan dan bagaimana ia dilaksanakan kerana pendedahan belia kepada program-program antarabangsa adalah penting untuk kita mengangkatkan martabat belia di negara ini. Sekian, terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Tampin. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Dungun.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus kepada Butiran 010300 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia. Soalan saya yang pertama, sejauh manakah institut ini bertindak sebagai think- tank ataupun pasukan pemikir dalam pembangunan polisi dan dasar berkaitan pembangunan belia negara. Kedua, apakah contoh program intelektual bagi tujuan penyelidikan dan pendedahan yang telah dibuat oleh institut ini. Ketiga, sehingga kini apakah institut ini juga telah melaksanakan kajian untuk menarik lebih ramai belia terlibat dalam proses kepimpinan negara melalui organisasi pertubuhan belia masing-masing.
Seterusnya, Butiran 020100 – Belia dan Sukan. Pertama, apakah langkah- langkah yang diambil kementerian untuk memantau dan membantu pertubuhan belia yang tidak aktif atau lemah daripada segi pengurusan organisasi? Kedua, bagaimanakah fungsi Pendaftar Pertubuhan Belia dalam memastikan pendaftaran sesuatu pertubuhan belia dapat dilicinkan pada waktu ini? Ketiga, bagaimanakah perancangan kementerian untuk menarik lebih ramai minat belia untuk terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan belia bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam soal-soal yang melibatkan pertubuhan belia ada yang sehingga kepada peringkat telah mati daripada segi pendaftaran?
Keempat, apakah status Parlimen Belia yang pernah ditubuhkan sebelum ini bagi mendedahkan kepada para belia berkenaan ilmu dan pengetahuan mengenai Parlimen? Kelima, apakah fungsi Program Rakan Muda masih lagi relevan dan menarik belia untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti yang bersesuaian seperti seni mempertahankan diri dan berkhemah mengikut kecenderungan masing-masing? Masih lagi dalam butiran yang sama iaitu Butiran 020100 – Belia dan Sukan. Adakah kementerian mempunyai perancangan untuk program eSports secara menyeluruh daripada segi kajian minat belia terhadap eSports ini? Sehingga kini, apakah kementerian melakukan penilaian dari semasa ke semasa terhadap kesan penglibatan anak-anak muda, remaja dan belia kita terhadap eSports, terutamanya daripada segi kesihatan mental dan juga pengurusan kewangan? Apakah contoh inisiatif oleh kementerian bagi meningkatkan tahap kesukarelawan antara belia? Akhir bagi butiran ini, sejauh manakah inisiatif-inisiatif pada Bajet 2021 telah membantu para belia mempertingkatkan kemahiran keusahawanan? Seterusnya, Butiran 020200 – Pembangunan Kemahiran Belia. Kita lihat dalam peruntukan bagi tahun 2022 telah dikurangkan daripada segi bajet yang telah disebut dari RM189,175,400 kepada RM164,733,800 memandangkan pembangunan kemahiran belia adalah sangat kritikal pada waktu ini. Jadi, apakah perancangan yang dicadangkan untuk dilaksanakan dengan pengurangan bajet yang ada? Seterusnya, saya ingin membangkitkan khusus terhadap Butiran 010200 – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). Berlaku peningkatan dalam bajet iaitu peruntukan RM4 juta bagi peruntukan tahun 2022 daripada peruntukan tahun 2021. Apakah justifikasi peningkatan ini? Kedua, taraf stadium-stadium dalam negara kita daripada segi infrastruktur bertaraf dunia tetapi kualiti sukan negara tidak berada pada tahap yang membanggakan. Apakah usaha-usaha kementerian untuk mengangkat kembali martabat sukan khususnya bola sepak negara kita? Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Dungun. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Labuan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Soalan-soalan dan cadangan-cadangan daripada saya akan menyentuh Butiran 030900 – Program Belia dan Sukan, Butiran 020200 – Pembangunan Kemahiran Belia, Butiran 00616 – Pusat Latihan Khas dan Butiran 00300 – Naiktaraf Kompleks Sukan Labuan. Program-program pemantapan kepimpinan organisasi secara indoor ataupun outdoor perlu dirancakkan semula oleh KBS memandangkan kesinambungan kepimpinan belia terganggu atau berkurangan akibat penguatkuasaan Akta 668 penurunan had umur belia. Ini satu cabaran yang perlu ditangani dengan serius. KBS juga perlu mengadakan semula semua program yang melibatkan kepimpinan indoor ataupun outdoor seperti program jati diri kenegaraan yang telah lama tidak dibuat. Ini keperluan kepada anak muda terutamanya yang berumur 18 tahun yang bakal menjadi pengundi muda pada PRU akan datang. Keperluan untuk mewujudkan Akademi Kepimpinan Pembangunan Belia (AKPB) mewakili kawasan Borneo seperti mana yang ada di Port Dickson untuk Semenanjung Malaysia. Memandangkan Malaysia mempunyai dua bahagian, satu di Semenanjung Malaysia dan satu di Borneo, maka sepatutnya kita mempunyai dua buah pusat AKPB di mana partisipasinya nanti bolehlah cross di antara dua. Juga mohon KBS mempunyai— adakah KBS mempunyai satu taskforce pemikir, think tank group dalam membuat hala tuju belia, cara pemikiran belia, pembentukan belia generasi milenium 2050? Sekiranya ada, adakah mereka dibayar elaun? Dana pengupayaan khas untuk pembangunan belia dan inisiatif bantuan belia. Memang belia ada terima dana pentadbiran daripada KBS tetapi perlu dana khas tambahan daripada kementerian. Baru-baru ini Kerajaan Negeri Pahang ada memberi kepada belia negeri Pahang dan negeri-negeri lain juga boleh berbuat demikian tetapi Labuan tidak mempunyai kerajaan negeri. Jadi, kita memohon supaya kementerian
berbuat demikian dengan memberikan dana khas kepada persatuan-persatuan belia di Labuan. Adakah KBS ada membuat kesepakatan bersama PBT untuk membincangkan pelantikan kepimpinan belia dalam organisasi PBT? KBS perlu berbuat demikian. Soalan lain, adakah KBS mempunyai perancangan untuk membuat program berskala besar termasuk untuk sport tourism di Labuan seperti mana Le Tour de Langkawi. Labuan ada Kompleks Sukan Laut Antarabangsa yang dimiliki oleh Perbadanan Labuan yang saya rasa perlu dimanfaatkan dengan lebih rancak lagi. Juga mohon KBS menjadikan salah satu sukan sama ada sukan laut ataupun sukan boling padang yang mana Labuan mempunyai gelanggang yang baik, bertaraf antarabangsa. Diacarakan di Labuan sebagai tuan rumah secara tahunan dan mungkin ia juga boleh dilibatkan Kampus UMS di Labuan sebagai rakan ataupun sebagai pusat R&D dan sebagainya. Butiran 00300 – Naiktaraf Kompleks Sukan Labuan. Saya ingin bertanya, bilakah kolam renang yang sudah enam tahun tidak boleh diguna dan terbiar selama ini dibuat semula ataupun diperbaiki? Penghabisan sekali, Butiran 031400 – Sepang International Circuit Sdn. Bhd.. Akan tetapi, saya ingin bertanya mengenai satu projek mini litar yang sudah diluluskan di Labuan bernilai RM7 juta untuk fasa pertama. Kemungkinan ia diluluskan di bawah peruntukan Perdana Menteri pada ketika itu tetapi ia sudah dibatalkan. Saya ingin bertanya, bolehkah Kementerian Belia dan Sukan membuat inisiatif baharu supaya ia diadakan semula di Labuan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Labuan sebagai pembahas terakhir. Ahli-ahli Yang Berhormat, Majlis bersidang semula sebagai Majlis Mesyuarat. [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat ditangguhkan dan akan disambung semula dengan jawapan daripada Yang Berhormat Menteri pada jam 2.30 petang nanti. Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.01 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.32 petang]
[Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Dato’ Sri Azalina Othman Said (Pengerang) mempengerusikan Jawatankuasa]
Bismillahi Rahmani Rahim, saya sekarang menjemput— last ya Yang Berhormat Kangar, lima minit.
Terima kasih Tuan Pengerusi, di bawah Butiran 020500, 031100 dan 031000. Saya ingin menyebut bahawa peranan belia menjadi penting dengan pindaan perlembagaan untuk membenarkan undi 18 dan penurunan had usia belia kepada 30 tahun. Kita menghampiri kitaran penuh (full cycle) yang mana demografi anak muda akan sepenuhnya menentukan banyak keputusan penting. Dulu kita ada Parlimen Belia tetapi kini mereka sudah boleh bertanding menjadi wakil rakyat yang sebenar.
Atas kesedaran ini sejak 2019, saya dan rakan-rakan secara bipartisan antara Yang Berhormat Pasir Mas, Yang Berhormat Sibuti, Yang Berhormat Pensiangan, Yang Berhormat Paya Besar, Yang Berhormat Johor Bahru, Yang Berhormat Setiawangsa, Yang Berhormat Batu Kawan, Yang Berhormat Kuching, Yang Berhormat Kota Belud, Yang Berhormat Batu dan Yang Berhormat Sik dan yang lain-lain telah mengerakkan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat dan telah menjalankan banyak siri program untuk mengajak lebih ramai anak muda dari seluruh negara ikut serta menyertai proses demokrasi dalam negara kita. Bila mereka melihat wakil rakyat pelbagai parti daripada kerajaan dan pembangkang dapat duduk bersama, ini akan memberi satu perspektif baru kepada mereka. Jadi soalan saya, apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kementerian untuk meningkatkan kesedaran belia tentang undi 18 dan kepentingan mereka untuk terlibat dalam kepimpinan di pelbagai peringkat dan bagaimanakah peranan Ahli-ahli Parlimen dapat dilibatkan. Di bawah Butiran 020200 – Pembangunan Kemahiran Belia dan Butiran 030700 – Program Kemahiran Belia. Ini sebab saya melihat semua butiran yang ada lebih berfokus kepada kepimpinan dan sukan. Mungkin butiran ini sesuai untuk saya sebut tentang pembangunan belia yang lebih menyeluruh kerana belia ini meskipun daripada segi usia nampak muda tetapi demografi mereka juga pelbagai. Ada pelajar, ada bekerja. Ada di bandar, ada di luar bandar. Ada wanita, ada lelaki. Ada yang bujang dan ada yang berkahwin. Jadi saya minta kementerian juga turut memasukkan sebagai antara program yang penting dalam persoalan pembinaan kemahiran ialah tentang pengurusan kewangan, pengurusan keluarga, bahkan pengurusan kesihatan. Ini kerana kita banyak mendengar isu-isu rumah tangga yang bergolak ketika usia muda, ramai belia bankrap dan ramai belia menghadapi— macam sebahagian wakil rakyat telah menyebut tentang krisis kesihatan mental dan sebagainya. Di bawah Butiran 031300 - Program Latihan dan Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara, Butiran 01800 – Penyediaan Sukan Antarabangsa, Butiran 02400 – Gelanggang Sukan. Kita ada SUKMA dari semasa ke semasa, banyak pelaburan sukan dibuat daripada segi infrastruktur tetapi selepas SUKMA kita nampak ia tidak diselenggarakan dengan baik. Saya ingat wajar penelitian dibuat supaya ada kesinambungan daripada segi penggunaan. Misalnya kalau ada latihan berpusat (centralized training) atlet-atlet negara dan juga negeri, kita boleh tentukan misalnya sukan ‘A’ buat di negeri Perlis, sukan ‘B’ mungkin buat di Johor. Jadi dengan cara ini, kemudahan sukan ini tidaklah terbazir ataupun kita buat kalau selepas ini SUKMA buat di Johor, jadi untuk latihan atlet negara dalam tempoh dua tahun seterusnya akan berpusat di Johor. Jadi, barulah kemudahan ini dapat digunakan secara optimum. Saya juga hendak bertanya kerana latihan dan juga persediaan atlet kita terjejas semasa pandemik. Apakah usaha yang dilakukan oleh kementerian bagi memastikan atlet-atlet kita berada pada tahap kecergasan dan juga daya saing yang tinggi bagi menyertai kejohanan-kejohanan bersifat serantau ataupun antarabangsa. Selain daripada infrastruktur sukan yang digunakan oleh atlet-atlet kebangsaan dan juga negeri ini, saya juga hendak tahu jumlah gelanggang futsal yang telah dibuat di peruntukan KBS sejak dulu serta jumlah perbelanjaannya. Banyak kita tengok di seluruh negara gelanggang ini tidak diselenggarakan dan ada dibuat di tempat yang tidak sesuai. Misalnya di tempat saya ada juga gelanggang yang dibuat di kawasan yang ditenggelami oleh air laut ketika pasang. Kita mesti belajar daripada pengalaman ini untuk tidak membazir peruntukan. Jadi kita tidak perlu buat terlalu banyak dan kita juga perlu memilih kawasan yang lebih sesuai. Terakhir, di bawah Butiran 020100 – Belia dan Sukan. Saya hendak juga sebut ketika krisis pandemik kerana tidak boleh keluar negara, ramai yang mengambil inisiatif memanfaatkan masa lapang mereka dengan cara sendiri. Yang agak menonjol saya ingat
ramai juga sebahagian daripada Ahli Parlimen terlibat ialah melakukan aktiviti mengayuh basikal dan juga bersenam. Saya ingat kementerian juga patut menggunakan ini sebagai peluang untuk mendidik gaya hidup sihat di kalangan masyarakat. Lebih daripada itu kementerian harus menjadi kementerian yang memainkan peranan advokasi mengenai keperluan pembangunan berkaitan. Dalam hal ini saya minta kementerian mungkin boleh berbincang dengan KPKT untuk memastikan adanya laluan khas basikal supaya pengguna atau penggiat aktiviti sukan ini dapat melakukannya dengan lebih selamat. Itu sahaja daripada saya Tuan Pengerusi, sekian terima kasih.
Terima kasih, semua Yang Berhormat, saya minta maaf, arahan daripada Tuan Yang di-Pertua, hanya Yang Berhormat Kangar sahaja. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Menteri 20 minit.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. Yang Berhormat Tuan Pengerusi, saya mohon mengucapkan jutaan terima kasih kepada 16 orang Ahli Yang Berhormat yang telah pun membahaskan di sesi peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Belia dan Sukan. Saya mohon menjawab kepada persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Dewan yang berada di dalam Dewan. Terima kasih Tuan Pengerusi. Yang Berhormat Pasir Mas, tidak ada di dalam Dewan. Yang Berhormat Bukit Mertajam, Yang Berhormat Jerai, Batu.
Bukit Mertajam ada.
Yang Berhormat Bukit Mertajam, sorry. Yang Berhormat dari Bukit Mertajam membangkitkan perkara berkenaan dengan program Olimpik dan juga Paralimpik 2024. Kementerian melalui Majlis Sukan Negara telah pun mula melaksanakan program khas yang dikenali sebagai Projek Asia Comm sejak Februari 2021, khusus untuk persiapan atlet ke Sukan Asia Guangzhou 2022 dan Sukan Commonwealth Birmingham 2022 yang merupakan asas kepada penyediaan atlet ke Olimpik dan Paralimpik Paris 2024. MSN bersama Institut Sukan Negara dan Persatuan Sukan Kebangsaan telah pun menjalankan kajian secara terperinci bagi mengenal pasti sukan-sukan yang mampu menyumbang pingat dalam kedua-dua temasya tersebut. Sebanyak 16 jenis sukan dengan penglibatan 118 orang atlet dan 43 orang jurulatih diberikan tumpuan dalam Program Asia Comm kali ini.
Tuan Pengerusi dan juga Yang Berhormat Menteri, saya faham dengan persiapan yang dilakukan tetapi pertanyaan saya tadi ialah saya tengok di bawah P.45 butiran 01800 – Penyediaan Sukan Antarabangsa, untuk Bajet 2022 hanya diperuntukkan RM17.5 juta. Peruntukan ini untuk kita berdepan dengan tiga acara sukan antarabangsa yang utama Hanoi Sea Games 2021, Guangzhou Asian Games 2022 dan Birmingham Commonwealth Games 2022.
Kalau kita bandingkan dengan tahun 2018, belanjawannya hanya untuk berdepan dengan Gold Coast Commonwealth 2018 dan Asian Games di Jakarta 2018, kita nampak perbezaan besar. Tahun 2018, untuk perkara yang sama, kementerian memperuntukkan RM71.5 juta. Kalau RM71.5 juta banding dengan RM17 juta, itu beza jauh. Saya khuatir nanti atlet tidak dapat cukup, persatuan tidak dapat peruntukan mencukupi untuk berdepan dengan cabaran sukan antarabangsa. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Kami telah pun meneliti tentang perkara ini dan pihak MSN dan juga pihak KBS telah pun memberi komitmen bahawa segala perancangan daripada atlet-atlet kita dan juga persatuan- persatuan sukan yang akan mengambil bahagian tidak akan terabai dan memastikan mereka akan berada di tahap prestasi yang terbaik bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Selain daripada itu, berkenaan dengan Program Pelapis dan perancangan kementerian untuk memastikan kesinambungan bakat-bakat baharu bagi menggantikan atlet-atlet yang sedia ada, KBS bersama Majlis Sukan Negara...
[Bangun]
...Bersama pemegang taruh amat komited dalam usaha untuk melahirkan kumpulan bakat-bakat yang berpotensi dan berkualiti untuk digilap. Program pembangunan jangka panjang telah dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan atlet-atlet senior yang sedia ada. Antara program-program yang telah dilaksanakan adalah seperti Program Pelapis Negeri, program bakat serta program khas iaitu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Program Pembangunan Ragbi Negara, Program Pembangunan Hoki Negara dan juga Junior Cycling Malaysia. Selain daripada itu, kementerian juga terlibat dalam program akar umbi iaitu Program Malaysia Talent Identification and Development (MyTID KPM-KBS) yang merupakan program yang bertujuan untuk mengenal pasti bakat yang berpotensi dalam kalangan murid-murid sekolah. Program MyTID KPM-KBS ini adalah kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia yang dijangka akan membantu memperluaskan tapak penyertaan bakat-bakat baharu ataupun talent pool, dengan izin, seawal usia tujuh tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dan mengurangkan risiko drop-out dan deselection.
Papar, Papar. Boleh Papar minta laluan?
Silakan.
Tidak ada kesempatan untuk berbahas tadi. Jadi, sekejap sahaja. Terima kasih Tuan Pengerusi dan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri yang memberi laluan. Maksud P.45 Butiran 00601 – Naik taraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri-negeri yang mana ia diperuntukkan sebanyak RM29.4 juta. Jadi, apa yang saya ingin luahkan di sini ialah berkenaan dengan Kompleks Mini Stadium di Kampung Beringgis, Papar yang mana ia dahulu di bawah daripada RMKe-11 dan sekarang sudah RMKe-12. Saya ingat lagi Yang Berhormat Menteri baru-baru ini memberitahu di Dewan ini bahawa kalau kita tidak cukup peruntukan, kita boleh buat yang mana yang paling penting. Kita buat penambakan ataupun kita buat site preparation untuk padang supaya orang boleh main bola dan juga balapan dan mana yang perlu. Ini yang paling penting fasal di sana di tempat di Beringis ini, kita ada lebih daripada 100,000 orang daripada kampung- kampung yang berdekatan. Inilah yang paling penting untuk kita. Jadi, saya meminta kepada Yang Berhormat Menteri supaya memberi perhatian ke atas masalah ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya akan ambil perhatian terhadap perkara tersebut. Saya sambung menjawab kepada Yang Berhormat Bukit Mertajam berkenaan dengan Anugerah SHAKAM kepada pemenang pingat di Tokyo 2020. Untuk makluman Yang Berhormat, sememangnya hadiah kemenangan yang melibatkan sejumlah peruntukan sebanyak RM5.22 juta masih belum dilunaskan lagi ekoran ia merupakan jumlah yang agak besar yang perlu dirujuk kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu. Namun, ia adalah dalam tindakan untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, semua pemenang telah sedia maklum dan pada masa ini mereka semua adalah merupakan atlet sepenuh masa yang dijaga sepenuhnya oleh pihak KBS melalui MSN. Ia bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana insentif yang besar sudah tentu akan mengambil sedikit masa bagi pihak kerajaan untuk melunaskannya, apatah lagi dalam keadaan kedudukan ekonomi negara kita pada ketika ini.
[Bangun]
Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya harap Yang Berhormat Menteri KBS akan cuba untuk mempercepatkan lagi pemberian SHAKAM ini. Satu lagi soalan tambahan ialah bagaimana pula dengan elaun bulanan yang layak diterima oleh pemenang pingat emas Olimpik tersebut? Adakah sudah mula ataupun belum? Terima kasih.
Maklumat yang saya ada setakat ini, semua pemenang telah sedia maklum tentang pemberian SHAKAM itu masih belum dapat dilunaskan buat masa ini tetapi mereka juga diteruskan pembiayaan daripada segi elaun latihan sebagai atlet yang di bawah naungan MSN.
Mungkin boleh bagi jawapan bertulis tentang elaun menang pingat emas RM5,000 sebulan itu. Terima kasih.
Insya-Allah. Baik Yang Berhormat, saya akan sampaikan secara bertulis.
Yang Berhormat Menteri, Hulu Selangor. Boleh mohon?
Sila.
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Menteri sebab semalam sudi turun ke Hulu Selangor untuk membuat lawatan tapak dan untuk menyaksikan simulasi rope swing di Sungai Pertak iaitu Kuala Kubu Bharu. Untuk makluman Yang Berhormat Menteri, setakat ini, kita hanya tunggu respons dari pihak JKR Daerah Hulu Selangor supaya dapatkan kebenaran dan mudah-mudahan dapat sokongan daripada semua pihak supaya dapat kita merealisasikan aktiviti sukan ekstrem ini. Yang Berhormat Menteri, Hulu Selangor amat setuju dengan Yang Berhormat Jerai yang menyentuh isu pembinaan kompleks sukan dan naik taraf fasiliti sukan supaya dapat kita mengurangkan masalah gejala sosial belia. Yang Berhormat Menteri, begitu juga dengan Hulu Selangor, permohonan pembinaan kompleks sukan yang baharu supaya dapat dipertimbangkan. Sekian, terima kasih. Terima kasih, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Hulu Selangor. Terima kasih kerana menerima lawatan saya di Hulu Selangor semalam dan kita akan usahakan melakukan perkara yang baik untuk rakan-rakan kita di sana. Berkenaan dengan pengiktirafan kepada pemenang-pemenang Paralimpik, Yang Berhormat Bukit Mertajam. Tentunya kita menyambut baik cadangan daripada Yang Berhormat, namun perkara tersebut bukanlah di bawah bidang kuasa KBS. Namun, KBS akan mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak-pihak yang berkenaan. Berkenaan dengan gangguan seksual pula, kementerian melalui MSN juga telah menubuhkan Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan pada tahun 2020 bagi memastikan pengurusan aduan berkaitan sukan prestasi tinggi negara dikendalikan dengan cekap, teratur dan berkesan. Dengan kewujudan jawatankuasa ini, kementerian memberi ruang kepada semua atlet termasuklah jurulatih dan pegawai sukan untuk tampil ke hadapan bagi menyuarakan aduan, masalah dan pandangan pada bila-bila masa.
Promosi berkaitan ini telah dilaksanakan menerusi pelbagai platform seperti MACE Careline iaitu talian telefon yang berfungsi 24 jam, peti aduan di tempat-tempat latihan dan penginapan atlet serta media sosial MSN. Pihak kementerian mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak yang berkaitan untuk memberikan pandangan dalam usaha menangani gangguan seksual.
[Bangun]
Untuk makluman Yang Berhormat juga, jawatankuasa yang baharu ini adalah menggantikan jawatankuasa yang lama yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi.
Mohon Yang Berhormat Menteri memberikan senarai nama dan juga pengerusi ahli jawatankuasa. Terima kasih.
Saya akan sampaikan secara bertulis. Terima kasih, Yang Berhormat. Saya teruskan menjawab kepada persoalan yang dibawa oleh Yang Berhormat daripada Jerai dan juga Yang Berhormat Batu berkenaan dengan had umur belia di bawah Akta 668 (Pindaan) 2019.
Ada, ada. Batu ada.
Ada lagi beberapa yang belum dijawab. Adakah ia akan dijawab kemudian ataupun sudah habis dijawab untuk Bukit Mertajam?
Dari Bukit Mertajam, setakat itu sahaja.
Sebab ada soalan tentang peruntukan khusus kepada pembangunan sukan untuk wanita, satu, dan keduanya tentang jawatan- jawatan dan juga jumlah perjawatan dalam KBS yang telah saya kemukakan tadi.
Maaf, saya tertinggal tentang perkara itu. Saya akan sampaikan jawapan itu secara bertulis kepada Yang Berhormat.
Okey, terima kasih.
Terima kasih. Berkenaan dengan had umur belia di bawah Akta 668 (Pindaan) 2019, saya ucapkan terima kasih kepada pandangan-pandangan daripada Yang Berhormat Jerai dan juga Yang Berhormat Batu berkenaan dengan perkara ini yang dipohon oleh majoriti pertubuhan belia. Saya selaku Menteri sedang meneliti perkara ini dan akan memberi pertimbangan yang sewajarnya... [Tepuk] agar pertubuhan belia diberi tempoh yang sesuai untuk melakukan transisi kepimpinan mereka yang berumur melebihi 30 tahun kepada mereka yang berumur bawah 30 tahun. Saranan Yang Berhormat Jerai supaya adanya transisi berkala untuk tempoh tiga tahun, sebenarnya transisi ini akan berlaku menerusi mesyuarat agung tahunan ataupun pemilihan yang akan mengambil masa hingga tiga tahun selepas tarikh mula berkuat kuasa Akta 668 (Pindaan) 2019. Sebagai contoh, sekiranya tarikh kuat kuasa pindaan bermula pada 1 Januari 2022, maka bagi pertubuhan belia yang mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan tiga tahun sekali, maka transisi kepimpinan kepada bawah umur 30 tahun hanya akan berlaku sebelum Januari 2025.
Jadi sebenarnya, pertubuhan-pertubuhan belia mempunyai tempoh masa yang panjang sebelum mematuhi had umur baharu bagi ahli dan pemegang jawatan dalam pertubuhan belia di bawah pindaan ini. Daripada Yang Berhormat Jerai mengenai pertambahan kemudahan sukan prestasi tinggi di negeri Kedah. Sememangnya kita percaya bahawa dengan adanya kemudahan sukan berprestasi tinggi, boleh menggalakkan lagi program-program pembangunan bakat sukan dalam kalangan rakyat. Kemudahan-kemudahan sukan berprestasi tinggi di Kedah telah pun sedia ada, apatah lagi dengan kemudahan- kemudahan yang telah dibina semasa SUKMA 2006 yang lalu, seperti Pusat Akuatik
Negeri Kedah di Gunung Keriang, Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan (MSN) di Langkawi dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, beberapa kemudahan seperti velodrom adalah tidak praktikal untuk diadakan di setiap negeri kerana kadar penggunaannya agak minima dan sekiranya ia merupakan velodrom tertutup, kos penyelenggaraannya amat tinggi. Justeru, perkongsian penggunaan antara negeri adalah langkah dan kaedah yang terbaik. Berkenaan dengan bantuan pentadbiran Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), menyalurkan sejumlah peruntukan bantuan pentadbiran kepada Majlis Belia Malaysia tertakluk kepada peruntukan kewangan semasa bagi maksud membantu melancarkan pengurusannya sebagai badan induk pertubuhan belia serta membolehkannya membantu melancarkan pengurusan badan-badan gabungannya seperti Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah. Sebagaimana tahun 2020 dan 2021, KBS melalui JBSN juga menyediakan sejumlah RM7 juta untuk bantuan pentadbiran kepada pertubuhan-pertubuhan belia yang bergabung di bawah Majlis Belia Malaysia. Jumlah peruntukan bantuan pentadbiran tahun 2022 ini turut merangkumi sejumlah RM955,000 untuk pertubuhan-pertubuhan belia di peringkat daerah yang meliputi 118 siri untuk melaksanakan kursus pengurusan organisasi dengan sasaran 4,840 peserta bagi memastikan pertubuhan belia akar umbi membuat persiapan serius untuk transisi peralihan kepimpinan bawah umur 30 tahun. Berkenaan dengan Butiran 02007 iaitu Kompleks Sukan Komuniti, KBS telah membuat penyelarasan semula kepada butiran ini. Peruntukan tahun 2022 sebanyak RM1,703,000 adalah untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih sebahagian daripada Kompleks Sukan Komuniti (KSK) di seluruh negara pada tahun 2021 dan 2022. Manakala sebahagian lagi naik taraf KSK ini, akan menggunakan peruntukan pada tahun 2023 dalam RMKe-12. Berkenaan dengan pengurangan peruntukan B.45 Butiran 020200 pada tahun 2022 berkenaan dengan Program Pembangunan Kemahiran, untuk makluman Yang Berhormat Jerai, peruntukan bagi butiran ini pada tahun 2021 adalah sebanyak RM189,175,400 dan pada tahun 2022 diperuntukkan sebanyak RM164,733,800. Ia dilihat berkurangan berbanding tahun ini. Namun jika dilihat pada tahun 2021, peruntukan bagi Emolumen Kakitangan Kontrak (EKK) dan bayaran bagi kontrak makanan bermasak adalah bersekali dengan peruntukan di bawah Butiran 020200. Manakala bagi tahun 2022, elaun kakitangan kontrak dan kontrak makanan bermasak telah diasingkan butirannya kepada 030200 iaitu Emolumen Kakitangan Kontrak dan Butiran 030600 iaitu Kontrak Bekalan Makanan Bermasak. Jika dijumlahkan ketiga-tiga butiran ini bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM204,086,600 dengan kenaikan sebanyak RM14,911,200 iaitu kenaikan sebanyak 7.31 peratus. Merujuk kepada program jangka pendek yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Jerai, pada tahun 2022, KBS melalui ILKBS dari tahun 2017 sehingga kini telah melaksanakan Program Bootcamp menggunakan konsep train and place, dengan izin. Latihan dalam jangka masa pendek iaitu dalam tempoh satu hingga tiga bulan. Contohnya juruteknik penyelenggaraan rel, kimpalan, penyaman udara, pemasangan jalur lebar, semburan cat automotif dan pelbagai bidang lagi. Yang Berhormat Johor Bahru membangkitkan Butiran 020400 berkenaan dengan gelanggang sukan– pembinaan kompleks sukan mini di SMK Bandar Baru Uda. Penyerahan rasmi kompleks sukan mini akan dibuat selepas sijil pengiktirafan daripada IAAF diperolehi oleh syarikat kontraktor. Pengurusan dan penyelenggaraan kompleks ini nanti akan diserahkan kepada pihak sekolah untuk digunakan termasuk oleh masyarakat umum di sekitarnya. Berkenaan dengan Butiran 00601 iaitu Naik Taraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri-negeri. Pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Johor, tapak asal kompleks ini dibina di atas tanah kerajaan negeri. Namun Kerajaan Negeri Johor telah mengambil semula tanah ini dan sebagai gantian, kerajaan negeri telah pun memberi tapak baharu
di Mount Austin yang juga terdapat beberapa kemudahan sukan di sekitarnya, yang boleh diguna sama oleh masyarakat seperti stadium olahraga dan lapang sasar menembak. Buat masa ini, urusan tanah sedang diselesaikan dan projek dijangka akan dimulakan pada tahun 2023. Berkenaan dengan kebajikan atlet yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Johor Bahru, bagi memastikan masa hadapan atlet-atlet negara terjamin, Program Malaysian Athlete Career and Education (MACE) telah dijadikan sebagai platform untuk memastikan kebajikan dan kepentingan atlet terjamin, sama ada semasa di dalam program mahupun selepas mereka bersara. MACE mengandungi tiga komponen utama yang diberikan penekanan iaitu aspek pendidikan, kerjaya dan kebajikan. Bagi peluang kerjaya atlet pula, Projek Track di mana kerjasama dengan syarikat- syarikat swasta dan GLC telah diterokai bagi membantu atlet menyediakan peluang pekerjaan yang diminati. MACE bekerjasama dengan YAKEB untuk membantu atlet-atlet yang bakal bersara melalui proses transisi dengan berkesan. MACE dan YAKEB akan memainkan peranan penting untuk memastikan atlet- atlet yang berminat menceburi bidang kejurulatihan untuk diberi peluang mengambil kursus-kursus kejurulatihan seperti kursus spesifik sukan dan sains sukan yang dikendalikan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan, Akademi Kejurulatihan Kebangsaan, Badan Sukan Antarabangsa dan International Olympic Committee. Tuan Pengerusi, banyak lagi yang saya belum sentuh Tuan Pengerusi...
Boleh sedikit Yang Berhormat Menteri?
Kalau diizinkan, saya boleh terus bacakan ataupun saya boleh beri jawapan secara bertulis. Terpulang.
Jawapan secara bertulis.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ucapkan terima kasih kepada semua...
Tidak sempat ya?
Yang mengambil bahagian dan saya akan pastikan jawapan sampai ke tangan semua Ahli Yang Berhormat yang telah bertanya. Terima kasih.
Dalam masa lima hari ya, Yang Berhormat Menteri.
Tuan Pengerusi?
Jawapan bertulis dalam masa lima hari.
Insya-Allah Tuan Pengerusi. Terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya ialah bahawa wang sejumlah RM622,025,400 untuk Kepala B.45 Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2022 jadi sebahagian daripada Jadual hendaklah disetujukan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala B.45 diperintah jadi sebahagian daripada Jadual]
Masalahnya ialah bahawa perbelanjaan di bawah Kepala P.45 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 hendaklah diluluskan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala P.45 jadi sebahagian daripada Anggaran Perbelanjaan]
Rang Undang-Undang — RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2022 DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022 Jawatankuasa — Kepala B.23 [Jadual] – Kepala P.23 [Anggaran Pembangunan 2022] –Bill
Kepala Bekalan B.23 dan Kepala Pembangunan P.23 di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli terbuka untuk dibahas. Lima minit seorang. Saya akan sebut nama 20 orang Ahli Parlimen. Yang Berhormat Kuala Langat, Yang Berhormat Raub, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Hang Tuah Jaya, Yang Berhormat Jerai, Yang Berhormat Sepang, Yang Berhormat Baling, Yang Berhormat Ipoh Timur, Yang Berhormat Tebrau, Yang Berhormat Balik Pulau, Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Rasah, Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Padang Serai, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Bakri, Yang Berhormat Dungun, Yang Berhormat Kota Kinabalu, Yang Berhormat Kemaman dan Yang Berhormat Kangar. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Kuala Langat. Silakan, lima minit.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Kuala Langat hendak ambil bahagian di dalam Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Saya refer kepada Butiran 20000 iaitu Perkhidmatan dan Bekalan. Tuan Pengerusi, saya ada pendirian tentang TNB. Apa yang dimaksudkan ialah sekarang kita nampak bahawa TNB ialah pemegang monopoli untuk bekalan elektrik di dalam negara kita. Baru-baru ini dalam sebutan mereka, third quarter profit sahaja yang berakhir pada 30 September 2021, mereka telah capai sampai RM1 bilion profit yang ada. Syabas dan tahniah kepada TNB. Akan tetapi pada masa yang sama Tuan Pengerusi, saya nak bawakan isu di mana monopoli ini saya nampak sekarang, TNB kena buat dua keputusan. Pertama, adakah TNB ini ia nak grow horizontally ataupun vertically? Masalah TNB sekarang yang saya nampak dan yang saya tahu dari bawah, beberapa orang yang saya telah ada pertemuan. Mereka kata TNB sekarang sebab ia satu giant di dalam industri ini di dalam Malaysia, dengan peruntukan yang lebih daripada RM1 bilion, mereka control semua, segala urusan perniagaan dengan energy di dalam negara kita. Contohnya, saya minta TNB janganlah masuk di dalam bidding war untuk large scale solar (RE) di dalam negara kita. Oleh sebab biding ini ia ada satu isu di mana ia besar sangat dan orang-orang muda yang datang sebagai RE entrepreneurs ini di dalam bidang ini, ia tak dapat peluang untuk jadi entrepreneurs dalam isu ini. Ia adalah seorang yang besar, the industry calls them a giant and monopoly. So, saya nak minta mereka berikanlah peluang kepada entrepreneurs yang muda untuk masuk di dalam gelanggang ini untuk dapatkan sedikit kerja untuk kebaikan mereka. Ini satu isu yang penting di dalam negara kita untuk masa depan yang akan datang. So, saya minta TNB, if you want to grow vertically ataupun horizontally, sebab ia dapat keuntungan yang besar sebagai satu syarikat yang berbilion-bilion ringgit. Saya cadangkan untuk TNB untuk pergi luar Malaysia untuk buat perniagaan di negara-negara di luar Malaysia untuk ia menjadi satu company yang terlihat internationally untuk masa depan yang akan datang. Macam ia baru-baru ini telah pun invest di dalam satu solar farm ataupun wind farm di UK dan sebagainya. So, ini satu permintaan saya untuk Yang Berhormat Menteri. Lihat macam mana kita boleh bawa perniagaan-perniagaan daripada orang-orang muda kita untuk masuk ke gelanggang ini untuk masa depan yang akan datang. Tuan Pengerusi, saya nak masuk kepada Butiran 020100 – Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG). Saya faham bahawa banyak tanah yang dibawah JKPTG ini dipegang oleh beberapa kementerian di dalam negara kita.
Kementerian Pendidikan ialah salah satu kementerian yang pegang banyak tanah tetapi kegunaannya sedikit sahaja. It’s very saddening to note that Kementerian Pendidikan ini ia ada banyak tanah tetapi kegunaannya ialah kecil dan ia tak guna tanah ini. Selain itu, ada juga kementerian-kementerian lain yang pegang tanah-tanah ini. So, saya minta untuk JKPTG membuat satu keputusan untuk bagi mereka semua satu masa untuk bangunkan tanah-tanah ini. Kalau tidak, tanah-tanah ini kena dikembalikan semula kepada Kerajaan Persekutuan untuk kita lihat macam mana kita nak bangunkan tanah- tanah ini. This is all liquid cash yang ada dan kita boleh generate income daripada tanah- tanah ini. Akhir sekali Tuan Pengerusi, Butiran 020300 – Mineral dan Geosains. Saya nak tanya kementerian, apa stand kita sekarang dengan rare earth industry ini di dalam Malaysia? Apa jadi kepada pilot project yang kita telah pun luluskan semasa saya menjadi Menteri? Apakah stand kita melalui kerajaan sekarang untuk kita membangunkan industri REE ini di dalam negara kita pada masa sekarang? Sekian, terima kasih Tuan Pengerusi.
Yang Berhormat Raub.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya pergi kepada Butiran 030200 – Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. Perbelanjaan anggaran tahun 2021 sekitar RM90.2 juta, manakala anggaran tahun 2022 sekitar RM91.8 juta. Jadi, kalau kita lihat ini, tak jauh beza ia. Saya nak dapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan, ada tak tambahan peruntukan untuk mengawal gajah-gajah liar yang selalu merosakkan tanaman penduduk-penduduk kampung dan juga Orang Asli? Sebelum ini, ada sebahagian daripada gajah-gajah ini dapat dikawal dengan menggunakan kolar pengesan satelit. Adakah pihak kerajaan bercadang untuk menambah penggunaan kolar ini kepada semua gajah liar yang ada, termasuk anak-anak gajah yang ada? Adakah pihak kerajaan juga bercadang untuk memindahkan hidupan liar, yakni gajah-gajah ini ke kawasan yang lebih selamat seperti kaedah yang digunakan dalam filem Jurassic Park, dengan sistem termasuk pagar keselamatan? Mohon juga pihak kerajaan supaya ada sedikit peruntukan untuk mengawal pembiakan monyet atau kera serta babi hutan yang sering mengganggu kebun-kebun penduduk kampung. Seterusnya, saya pergi kepada Butiran 040100 – Pengurusan Tenaga. Adakah bajet kali ini ada tambahan untuk Suruhanjaya Tenaga untuk memperbanyakkan latihan tenaga kemahiran atau separuh mahir, khasnya kepada industri elektrik dan juga industri sumber tenaga baharu bagi mengejar atau memenuhi sasaran zero carbon pada tahun 2050? Saya difahamkan, buat masa ini profesion jawatan penjaga jentera (chargeman) dan juga juru pendawai (wireman) tidak dapat menampung permintaan industri buat masa ini. Jika kerajaan serius untuk mencapai sasaran zero carbon 2050, maka peruntukan untuk latihan kemahiran ini perlu diperbanyakkan dan dipermudahkan serta ia dapat melahirkan peluang pekerjaan kepada generasi baru. Butiran 050600 – Biodiversity Protection and Patrolling Program (BP3). Anggaran tahun 2021, sebanyak RM12 juta. Anggaran untuk tahun 2022, lebih kurang RM20 juta. Perbezaan lebih kurang RM9 juta. Jadi, saya mohon penjelasan butiran berkenaan dengan ini sebab kita nak tahu, rakyat pun nak tahu. Akhir sekali, Butiran 050900 – Malaysia Forest Fund (MFF). Adakah peruntukan sebanyak lebih RM3 juta ini untuk pokok hutan ditanam semula dan di mana kawasan tersebut? Terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Sik.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Pengerusi.
Saya terus kepada Butiran 020300 – Mineral dan Geosains. Dalam Pelan Transformasi Mineral Negara 2021-2030 yang telah dilancarkan, harapan agar pertimbangan keperluan mineral dalam negara diutamakan, selain penerokaan secara mesra alam sekitar dan komoditi setempat. Sumber mineral sebagai sumber tidak boleh diperbaharui sebahagiannya hanya dijumpai secara terhad, perlu mempunyai strategi jelas berkaitan kepentingan masa depan negara. Terdapat mineral yang sangat canggih, termasuklah yang disebut tadi oleh Yang Berhormat Kuala Langat, yang disebut rare earth elements (REE), dengan izin, atau nadir bumi yang bakal menjadi sumber penting untuk teknologi masa hadapan.
Walaupun negara belum mempunyai keupayaan membangunkan teknologi tinggi, sekurang-kurangnya sumber ini perlu diproses dalam negara dan dijadikan bahan mentah yang sedia digunakan. Dengan cara ini, negara sentiasa dalam kawalan mengeksport sumber penting ini. Tindakan mengeksport bijih ataupun sumber ini yang mentah ke luar negara bukanlah tindakan yang menguntungkan negara kita. Jadi persoalan saya, adakah kerajaan akan menggubal satu Dasar Mineral Negara bagi panduan untuk membangunkan sumber-sumber baharu ini di samping untuk kita meningkatkan hasil mahsul dalam negara bersama juga komitmen kita untuk terus menjaga alam sekitar agar ia tidak dieksploitasi sehingga mengganggu ekosistem alam dan kehidupan manusia. Dasar ini adalah penting bagi memberikan perhatian tinggi kepada pembangunan sumber baharu ini selain juga ia mempunyai implikasi keselamatan negara, isu kesihatan awam serta pencemaran alam sekitar...
Yang Berhormat Sik, boleh saya mencelah?
Ya, ringkas ya.
Terima kasih Yang Berhormat Sik. Saya hendak tanya Yang Berhormat Sik, sama ada Yang Berhormat Sik sedar atau tidak bahawa di dalam kita memproses rare-earth mineral ini, dia ada satu byproduct ataupun waste yang dipanggil radioactive waste ya. Seperti yang— sebab rare-earth mineral selalunya mengandungi torium dan apabila kita abstrak rare-earth itu, torium itu menjadi dia punya waste ataupun byproduct. Inilah masalah kita dengan Lynas di Kuantan. Sama ada Yang Berhormat sedar atau tidak, itulah masalah yang akan timbul kalau kita go down this road. Terima kasih Yang Berhormat.
Sebab itu saya katakan Yang Berhormat Kuantan, kita perlu ada satu Dasar Mineral Negara yang jelas ya dan kajian yang terperinci perlu dilaksanakan oleh pihak kementerian sebelum ada satu kelulusan untuk penerokaan dan juga perlombongan termasuk REE ini. Seterusnya saya terus Butiran 030300 – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Sedia maklum bahawa satu projek penyelidikan yang sedang dilakukan oleh FRIM iaitu nilai ekonomi aset semula jadi ke arah perakaunan hijau negara. Kajian ini berdasarkan kepada skop pendidikan iaitu penilaian ekonomi perkhidmatan ekosistem dan biodiversiti kawasan hutan perlindungan terpilih serta pembangunan pangkalan data rujukan bagi nilai aset semula jadi. Jadi dalam hal ini, saya ingin membangkitkan berkaitan dengan penyelidikan dan peranan khususnya kita menjaga Hutan Simpan Ulu Muda di Daerah Sik sendiri sebagai kawasan tadahan air yang utama bagi negeri-negeri di utara, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang perlu dikekalkan sebagai kawasan tadahan air utama sama ada untuk kegunaan domestik dan pengairan pertanian. Dalam masa yang sama, kawasan ini termasuk penduduk di sekitar hutan simpan ini, penduduk setempat mencari rezeki daripada hasil-hasil hutan seperti rotan, buluh, getah damar, madu lebah, buah keranji, akar kayu untuk perubatan dan sebagainya. Jadi
soalan saya, apakah perlu wujud satu peraturan untuk pengawalan dan keseimbangan aktiviti masyarakat setempat ini? Secara adil dan wajarnya, penduduk setempat boleh mencari rezeki di dalam hutan ini dan dalam masa yang sama, kelestarian sumber hutan ini tetap terpelihara dan tidak mengalami kepupusan yang pasti akan merugikan kita semua. Tambahan bajet untuk FRIM ini sangat dialu-alukan untuk mengukuhkan lagi agensi ini mencapai objektif dan tujuan untuk kelestarian hutan kita. Terakhir Yang Berhormat Tuan Pengerusi, Butiran 040200 – Tenaga Lestari. Tenaga lestari penting bagi menangani dua isu utama iaitu mengurangkan perubahan iklim dan mencapai jaminan tenaga melalui autonomi tenaga. Malaysia dalam masa yang sama bercadang untuk mengurangkan intensiti KDNK gas ke rumah hijau kepada 45 percent pada tahun 2030. Jadi saya ingin bertanya, jika jaminan tenaga negara dicagar dengan mengimport bahan api khususnya arang batu untuk menjana kuasa elektrik, ia bukanlah jaminan tenaga yang sebenar. Jaminan tenaga sebenar dicapai melalui autonomi tenaga. Apakah sudah ada perancangan jangka panjang kerajaan ke arah kebergantungan negara kepada bahan api seperti arang batu yang diimport bagi membantu untuk menstabilkan ekonomi? Seterusnya persoalan saya, apakah inisiatif yang disediakan oleh kerajaan bagi pengeluar dan pengguna tenaga lestari seperti solar? Sejauh manakah kejayaan SEDA dengan izin, Sustainable Energy Development Authority dalam melakukan perubahan tenaga fosil kepada tenaga lestari? Tuan Pengerusi, terima kasih.
Yang Berhormat Hang Tuah Jaya. Tidak ada?
Ada.
Oh! Silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin terus pergi kepada butiran iaitu berkaitan dengan pemetaan, perbelanjaan untuk pemetaan dan eKadaster di mana dalam anggaran perbelanjaan Persekutuan bagi tahun 2022 ini, anggaran perbelanjaan itu dinyatakan adalah RM446 juta dan bagi eKadaster, anggaran perbelanjaan ada RM309 juta. Namun, kalau kita semak bagi kedua-dua bahagian ini iaitu pemetaan dan eKadaster, ternyata perbelanjaan tahun 2020 yang juga dibekalkan kepada kita menunjukkan bahawa belanja untuk pemetaan itu adalah RM223 juta. Walhal anggaran perbelanjaan untuk tahun 2022, dinyatakan kosnya adalah RM446 juta. Justeru, ada perbezaan RM223 juta. Kita minta penjelasan daripada kementerian tentang perkara ini. Begitu juga dengan program eKadaster. Dalam penyata belanja tahun 2020, belanjanya ialah RM230 juta dinyatakan. Akan tetapi dalam buku Belanjawan 2022, meningkat, ada perbezaan sebanyak RM78 juta. Jadi pada hemat Hang Tuah Jaya, perbezaan besar sebegini wajar kita berikan penjelasan kerana kita tahu eKadaster merupakan aplikasi web sepenuhnya yang hanya memanfaatkan pengguna sistem operasi Windows setakat ini. Adakah perbelanjaan sebesar ini harus dibekalkan untuk program ini? Bagaimana pula dengan kos pemetaan yang saya nyatakan tadi? Apakah kos pemetaan manual dan untuk keperluan eKadaster perlu dibuat berasingan dan tiada penyelarasan boleh difikirkan? Saya juga ingin bertanya kepada kementerian, untuk memaklumkan mengenai administrator sistem eKadaster JUPEM ini kerana menurut laporan tender 2020 kementerian, kerja-kerja menyelenggara, menaik taraf dan pengekstrakan feature dikendalikan oleh syarikat yang berbeza-beza. Tuan Pengerusi, seterusnya kepada butiran mengenai zoo dan pameran tetap. Saya rujuk kepada kenyataan-kenyataan media yang dikeluarkan pada 8 Jun 2021, di mana kementerian menyatakan bahawa yang zoo dan pameran tetap yang terjejas
berikutan wabak pandemik COVID-19 kerana ketiadaan sumber pendapatan akibat kurang kutipan jualan tiket masuk, saya rakamkan tahniah kepada kementerian kerana sejumlah peruntukan sebanyak RM3.9 juta daripada kerajaan ini disalurkan secara berperingkat. Namun, media melaporkan bahawa kos operasi sehingga RM1 juta setahun diperlukan. Contohnya di Zoo Negara. Jadi, apakah perancangan kementerian untuk memelihara dan memastikan kesejahteraan kehidupan liar ini kerana peruntukan sedemikian dibimbangi, saya percaya tidak mencukupi untuk mereka sustain, dengan izin Tuan Pengerusi. Seterusnya saya ingin juga mengajak dan meminta kementerian untuk merujuk kepada FRIM ya, peruntukan untuk FRIM. Kita tahu bahawa dalam FRIM ini antara perkara yang penting dulu ialah berkaitan dengan perancangan kerajaan untuk mengusahakan tanaman hemp. Saya ingin bertanya kepada kementerian, bagaimana usaha FRIM ini. Adakah ditangguhkan ataupun diteruskan? Ini kerana kita tahu medical hemp ini satu perkara yang penting yang boleh kita jadikan sebagai satu produk yang berpotensi untuk dibangunkan ekonomi pada masa hadapan. Saya juga ada terbaca satu interview ataupun wawancara yang panjang lebar dengan para penyelidik di FRIM yang berkait tentang tanaman ketum. Kita pun ingin dapatkan penjelasan, bagaimana kalau saya telitilah wawancara itu dengan para penyelidik di FRIM ini dan kita tahu FRIM mendapat peruntukan yang agak tinggi juga, RM60 juta lebih. Apakah masa depan program ketum ini? Ini kerana kita tahu negara jiran, misalnya negara Thailand telah pun mengeluarkan ketum ini daripada senarai narkotik dan ia boleh dibangunkan sebagai satu ubat ataupun tanaman herba yang berpotensi terutamanya di kawasan-kawasan desa dan juga luar bandar. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Yang Berhormat Jerai.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai sesi perbahasan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Hanya tiga perkara yang ingin saya sentuh. Pertama B.23, Butiran 030000 – Pengurusan Hutan dan Biodiversiti. Saya menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri kita Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang menzahirkan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan pampasan kepada negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan sebagai kawasan tadahan. Hal ini kerana semua sedia maklum, Kedah mengekalkan kawasan hutan simpan bukan semata-mata untuk manfaat kegunaan domestik sahaja tetapi juga sebagai suatu pengorbanan untuk seluruh negara. Ini kerana fungsi kawasan tadahan hutan simpan Kedah adalah bukan untuk pengairan kawasan penanaman padi di negeri ini sahaja malah untuk negeri jiran iaitu Pulau Pinang dan Perlis. Untuk rekod, luas keseluruhan kawasan hutan Kedah adalah 344,865.09 hektar yang meliputi 36.4 peratus daripada keluasan keseluruhan negeri. Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberi pampasan kepada negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air dan melindunginya daripada sebarang kegiatan pembalakan haram. Beliau berkata, kerajaan melalui kementerian berkaitan akan mengkaji formula yang sesuai bagi menetapkan jumlah pampasan berkenaan. Saya bersependapat dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah bahawa nilai pampasan pengekalan hutan yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kedah berjumlah sekurang-kurangnya RM100 juta setahun. Jumlah itu adalah selepas mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan serta kos penyelenggaraan sumber dan aliran bagi memastikan kelestarian alam semula jadi.
Kita sangat berharap bayaran berkenaan dibuat dalam bentuk pampasan fiskal dan bukan dalam bentuk kos projek penanaman pokok atau sebagainya. Seterusnya perkara kedua B.23, Butiran 020300 – Mineral dan Geosains. Kesan daripada bencana kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos yang lalu, keadaan di sekitar gunung berkenaan masih belum dipulihkan sepenuhnya. Hujan lebat yang berpanjangan akan menyebabkan kediaman penduduk dimasuki air. Sehingga kini, penduduk masih lagi hidup dalam keadaan trauma dan tertekan kerana bimbang kejadian akan berulang. Setiap kali hujan lebat, ada yang mengambil langkah berjaga-jaga dengan berpindah ke rumah saudara yang berada di kawasan yang lebih tinggi. Soalan saya kepada pihak kementerian, apakah status pelaksanaan terkini sistem awal amaran bencana geologi? Jika sistem ini dipasang, penduduk akan berkesempatan menyelamatkan diri dan dokumen penting sekiranya berlaku banjir. Perkara ketiga, B.23 Butiran 010200 – Pengurusan Sumber Asli. Kesan daripada bencana kepala air Gunung Jerai yang telah dikategorikan sebagai bencana alam tahap satu telah menyebabkan pokok besar tumbang dan batu-batu besar teralih. Terdapat pokok-pokok yang tidak selamat dan perlu ditebang segera dan kesemua bersaiz balak. Soalan saya, apakah pandangan kementerian untuk proses baik pulih hutan ini? Sekian, terima kasih Tuan Pengerusi.
Yang Berhormat Sepang.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus kepada item 050400 – Subsidi Bil Elektrik di mana ia akan dikurangkan sebanyak RM2 juta daripada RM80 juta kepada RM78 juta. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah justifikasi pengurangan ini? Itu yang pertama. Keduanya, adakah pihak kementerian telah mengkaji akibat dan kesan kepada pengurangan RM2 juta kepada bil elektrik ini yang mungkin akan menyusahkan lagi rakyat? Ini kerana sekarang rakyat berhadapan pertama dengan isu pandemik, kemudiannya sekarang ini dengan harga barang yang begitu meningkat dan menyusahkan rakyat. Selepas ini kalau sekiranya rakyat juga terpaksa membayar bil elektrik yang agak tinggi, ia mungkin menggandakan lagi kesengsaraan mereka. Macam Perdana Menteri dia tidak kisahlah, dia sudah ada ramai penasihat, bertambah lagi penasihat. Mereka ini tidak fikir rakyat, mereka fikir diri mereka sahaja. Keduanya saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Menteri berkaitan dengan Butiran 020100 – Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Baru-baru ini kita tahu bahawa timbul isu kecurian pasir yang didedahkan oleh mantan Ketua Menteri Melaka. Beliau mendedahkan betapa adanya pihak yang under declare ataupun membuat pengisytiharan yang rendah. Mereka telah mengisytiharkan pengeluaran pasir itu dengan kadar yang rendah untuk membolehkan mereka membayar royalti pasir dalam keadaan yang begitu rendah. Saya ingin bertanya kepada pihak Yang Berhormat Menteri, pertamanya adakah pihak kerajaan sedar bahawa ini sudah berlaku? Kalau sudah berlaku, berapa lama sudah berlaku? Itu yang pertama. Keduanya, saya ingin tanya kepada Yang Berhormat Menteri, apa yang telah kerajaan buat untuk mengatasi masalah ini? Saya juga ingin tanya kepada pihak Yang Berhormat Menteri, berapakah jumlah royalti yang telah pun Kerajaan Persekutuan hilang ataupun tidak dapat hasilnya akibat daripada ada pihak-pihak yang khususnya di Melaka itu telah gagal untuk membayar royalti dengan harga yang sepatutnya. Seterusnya saya juga ingin bertanya kepada pihak kerajaan, adakah kerajaan sekarang sedar bahawa adanya satu kompelin bahawa pernah berlaku satu aduan bahawa kerja-kerja untuk menguatkuasakan kecurian pasir ini berlaku sedikit masalah
kerana wujudnya elemen-elemen samseng, ada pihak-pihak yang menggunakan samseng untuk mengelak daripada penangkapan dan sebagainya. Saya ingin tanya kepada pihak kerajaan, adakah kerajaan sedar perkara ini? Saya juga difahamkan bahawa wujudnya satu masalah penyelarasan kerja antara pihak Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri. Kita tahu dalam kes kecurian pasir ini melibatkan isu pertindihan bidang kuasa di mana di situ ada juga peranan pihak kerajaan negeri, ada juga pihak Kerajaan Persekutuan. Jadi, kadang-kadang pertindihan ini mengakibatkan masalah penguatkuasaan undang-undang menjadi tidak begitu berkesan. Jadi, saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, adakah kerajaan bersedia untuk meminda undang-undang untuk memastikan penyelarasan ini dapat dilakukan dan terdapat usaha-usaha yang berkesan dalam mengesan kes kecurian lombong pasir ini? [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa] Terakhir saya ingin tanya kepada pihak kementerian, tolong berikan butiran kepada saya, berapakah ataupun syarikat manakah yang terlibat dalam perlombongan pasir di Melaka itu. Berapakah jumlah royalti yang mereka telah bayar selama ini? Seterusnya saya ingin tanya kepada pihak kerajaan, adakah kerajaan sedar mereka juga telah dikatakan, dituduh bahawa mereka juga telah membakar bukti, ada unsur jenayah iaitu pertamanya under declare? Keduanya pembakaran bukti untuk membolehkan mereka membayar royalti yang sedikit kepada pihak Kerajaan Persekutuan. Ini mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Persekutuan. Jadi, saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan supaya kerajaan dapat melakukan sesuatu. Saya harap kerajaan dapat memberikan maklumat yang saya minta itu. Tuan Pengerusi, saya minta yang set lima hari itu mesti betul-betul dipatuhi. Ini kerana sehingga hari ini saya tidak dapat lagi jawapan-jawapan pada pembentangan yang lepas. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sepang. Yang Berhormat Baling, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi kerana beri ruang dan peluang kepada Baling. Butiran 020300 – Mineral dan Geosains. Kami di Kedah digemparkan dengan berita REE iaitu rare-earth elements yang dijumpai melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) yang begitu lucrative dengan izin dalam konteks nilai ekonominya. Hasil kajian dan tinjauan awal yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains menganggarkan nilai sumber mineral negara berjumlah RM4.1 trilion. Itu di keseluruhan. Perkara yang saya hendak sebutkan adalah berkaitan dengan negeri Kedah. Negeri Kedah, kami di Baling dan Sik lagi terkejut Tuan Pengerusi, di mana kononnya REE ini dijumpai di dalam kawasan daerah Parlimen kami dan untuk negeri Kedah.
Bila saya selaku Ahli Parlimen dan bila dapat berita tersebut, saya juga cuba buat sedikit sebanyak kajian. Kalau kita tengok pada tahun ini, peruntukan sebanyak RM87.2 juta bagi melaksanakan gerak kerja berkaitan Pembangunan Industri Mineral Negara di bawah peruntukan belanja pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 untuk JMG. Ini merangkumi aktiviti seperti: (i) penilaian sumber mineral negara; (ii) pembangunan Sistem Pemantauan Bersepadu Lombong dan Kuari;
(iii) penarafan kemampuan industri perlombongan dan pengkuarian menggunakan kaedah Sustainable Development Indicators (SDI), dengan izin; dan (iv) inovasi dan pengkomersialan produk mineral negara melalui kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030). Persoalan saya, apakah hasil kajian sumber REE ini di kawasan-kawasan di seluruh Malaysia khususnya di negeri Kedah? Saya juga difahamkan bahawa REE yang dijumpai di kawasan kami tidak ada radioaktif dan tidak perlu melombong dan tidak perlu tebang sebarang pokok. Apakah perancangan dan strategi berkesan untuk menguruskan sumber ini? Jadi, pada saya, saya harap kerajaan dapat mengambil tindakan sebab kajian ini agak lama dah, kalau kita tengok. Saya yakin dan percaya kalau sekiranya kerjasama dalam bidang pembangunan industri mineral negara antara agensi-agensi berkenaan, kerjasama itu penting bagi memajukan lagi industri mineral dengan lebih cekap. Kalau tanya saya, kalau perkara ini berlaku, tidak mustahil, Tuan Pengerusi, Baling dan Sik, kita boleh membawa syarikat gergasi seperti Apple, Samsung untuk datang ke situ. Tuan Pengerusi, Tuan Pengerusi juga orang Kedah. Sememangnya Kedah kalau disebutkan kawasan Baling, kawasan Sik, kawasan yang mundur dan miskin. Kemungkinan ini adalah kerja Allah SWT. Memang betul dahulu orang Baling, orang Sik, di antara yang agak mundur dan miskin tetapi kemungkinan perkara yang tersurat adalah miskin, tersirat Allah SWT meletakkan perkara REE ini iaitu REE ini dalam kawasan kami. Secara kebetulan, Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Menteri yang ada pada hari ini dari Kota Bharu tetapi beliau sendiri dilahirkan di Sik. Ini semua tersurat dan tersirat dalam Luth Mahfuz. Jadi, saya harap Yang Berhormat Menteri akan melihat perkara ini dan apakah kajian yang dibuat hari ini dapat kita merealisasikan. Ini kerana perkara ini amat penting memandangkan Sik dan Baling ini hasil kami potong getah saja, Tuan Pengerusi, pertanian sahaja. Jadi dengan adanya rare earth element ini, saya yakin dan percaya dengan izin Allah SWT, kita boleh dapat manfaatkan, apatah lagi tidak ada radioaktif, tidak perlu tebang pokok, ada teknologi baharu sekadar menebuk lubang di tanah dan boleh mengeluarkannya. Ini satu perkara yang amat-amat jelas dan saya harap jawapan akan kita terima. Satu lagi saya hendak sebut iaitu Butiran 050400 – Subsidi Bil Elektrik. Pada masa zaman pandemik COVID-19, MCO, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak TNB kerana telah beri kelonggaran, tidak potong bil orang Baling, orang Sik walaupun tidak mampu bayar dan sebagainya. Akan tetapi pada hari ini, saya ingin bertanyakan satu soalan yang agak penting. Ramai kawan tanya dan saya juga ada masalah yang sama. Ini berkaitan dengan syarikat Bitcoin. Syarikat ini yang mana pihak polis telah menumpaskan perlombongan mata wang crypto Bitcoin. Saya difahamkan berpuluh juta ringgit TNB telah kehilangan wang hasil mereka telah mencuri elektrik. Bukan sekadar itu, ramai tenant ataupun ramai tuan punya rumah atau tuan punya pejabat telah menjadi mangsa pada hari ini di mana mereka menyewa premis pejabat tersebut menggunakan urusan perniagaan Bitcoin ini, akhirnya mereka tidak membayar bil api yang mencecah ada yang sampai RM300 ribu, RM500 ribu dan ada yang mencecah sampai berjuta ringgit. Jadi, saya tahu juga pihak TNB ada satu gerakan Ops Elektrik yang cuba merampas dan cuba menahan dan sebagainya. Di Shah Alam baru-baru ini, RM1.28 juta. Di Shah Alam sahaja, satu syarikat. Jadi saya harap, saya hendak tahu jawapan, apakah tindakan TNB? Bagaimana berkesannya? Sebab lebih baik kita tolong rakyat B40 ini, saya sangat setuju. Saya dah ucapkan terima kasih, setinggi-tinggi syabas dan penghargaan kepada pihak TNB tetapi pada masa yang sama, syarikat-syarikat yang mengambil kesempatan ini, pihak polis telah memainkan peranan mereka. Pihak polis telah menahan dan sebagainya dengan perlombongan tersebut tetapi apakah tindakan proaktif pihak TNB di bawah kementerian Yang Berhormat Menteri untuk
mendapat balik pulangan wang tersebut? Sekurang-kurangnya wang itu boleh kita guna pakai untuk membantu, bagi lagi subsidi kepada rakyat yang marhaen di bawah sana untuk mereka teruskan kehidupan. Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya harap Baling, Sik, REE berpisah tiada akan mendapat manfaat dalam masa yang terdekat ini. Terima kasih Yang Berhormat Menteri, anak kelahiran Sik. Terima kasih.
Terima kasih. Saya tahu Yang Berhormat Menteri walaupun tubuh badan di Kota Bharu, prihatinnya masih di Kedah. Yang Berhormat Tebrau, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi kerana mengizinkan saya sertai perbahasan petang ini. Butiran yang saya ingin sentuh bermula dengan Butiran 030200 – Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. Tuan Pengerusi, berlaku sedikit peningkatan peruntukan di bawah butiran ini. Apakah kejayaan yang telah dicapai yang lepas membawa kesan yang positif kepada negara? Hidupan liar semakin pupus atas sebab musnahnya kawasan pembiakan habitat bagi tujuan projek perumahan, pertanian dan lain-lain. Kekurangan makanan menyebabkan hidupan liar keluar mencari makanan sehingga memusnahkan kebun atau pekan. Oleh itu, apakah tindakan kementerian bagi memastikan hidupan liar yang semakin berkurangan akibat tiada rantaian makanan? Tuan Pengerusi, masalah yang dihadapi oleh kawasan perlindungan yang mempunyai pengurusan yang berbeza bagi tujuan konservasi dan tiada penyeragaman sistem. Apakah tindakan kerajaan dalam memastikan pengurusan kawasan perlindungan lebih teratur dan lancar? Malaysia masih belum mengharamkan aktiviti memburu. Ramai yang memperoleh lesen senjata api untuk tujuan memburu tanpa pengawalan sehingga hidupan liar mengalami kepupusan. Apakah langkah kerajaan yang proaktif perlu diambil bagi mengawal lesen atau permit untuk tujuan memburu? Saya juga memohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, di mana restoran yang menghidangkan makanan daripada hidupan liar semakin berleluasa walaupun undang-undang yang menghalangnya telah sedia ada. Saya harap kementerian harus mengkaji semula kelemahan atau kecuaian dalam memantau aktiviti haram tersebut. Kewujudan Taman Negara perlu ada usaha sama antara Jabatan PERHILITAN dengan kerajaan negeri bagi memastikan hasrat kementerian dapat direalisasikan dengan syarat kepentingan ekonomi masyarakat tempatan dapat dipertingkatkan. Adakah kerajaan mempunyai perancangan dalam memastikan kewujudan Taman Negara membawa perkembangan yang positif dalam beberapa sektor dalam negara? Sekarang saya beralih ke Butiran 030300 – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Tuan Pengerusi, di bawah butiran ini, berlaku peningkatan sebanyak RM193 juta. Adakah peruntukan ini merangkumi seperti penyebaran maklumat dengan Jabatan Pendidikan mengenai pembangunan hutan, hasil hutan dan penggunaannya melalui media massa dan teknologi terkini bagi memberikan info serta menarik minat generasi muda? Apakah tindakan kerajaan dalam mempromosikan bagi pengajian dan program latihan dalam bidang perhutanan serta pendidikan?
Butiran 030300 – National Tiger Conservation Center. Tuan Pengerusi, saya melihat di bawah butiran ini tiada peruntukan yang disalurkan untuk tahun hadapan. Adakah NTCC di Kg. Pulau Setulu Lanchang Pahang itu dijadual akan siap pada tahun hadapan dapat beroperasi sepenuhnya? Jikalau tidak, apakah pelan tindakan kerajaan yang terbaik bagi memastikan harimau-harimau di negara kita dapat dilindungi dengan baik?
Butiran yang seterusnya ialah Butiran 060100 – Penyelenggaraan Sistem eKadaster. Tuan Pengerusi, di bawah butiran ini, sistem yang sebelum ini menggunakan JUPEM dan dia ada peruntukan– adakah peruntukan sebanyak RM21,000,000 dapat memudahkan menganalisis data dengan lebih berkesan. Meningkatkan kawalan keselamatan penggunaan ICT serta mengoptimumkan pemulihan bencana. Adakah pembangunan sistem aplikasi seperti eKadaster melalui JUPEM Geoportal memudahkan pengguna mencapai ataupun memperolehi data secara atas talian. Semua sedia maklum, bahawa data yang dibekalkan amatlah terhad kepada senarai penduduk yang telah disenaraikan dan data yang tersedia dalam bentuk digital sahaja. Ini adalah disebabkan data tersebut tertakluk kepada keselamatan dan berbentuk fizikal. Apakah manfaat yang diperolehi oleh pengguna sekiranya berlaku penggabungan antara GIS portal dengan eBIZZ? Tuan Pengerusi, saya minta izin satu minit lagi kerana satu isu yang sangat penting saya kena sentuh kerana ada pengguna TNB yang minta saya sentuh isu ini di dalam handphone saya. Ini di bawah Butiran 09000 – Pengurusan Tenaga. Tuan Pengerusi, ada ramai pengguna yang membuat aduan bahawa TNB tanpa melakukan siasatan yang menyeluruh serta bukti-bukti kukuh dalam menentukan kerugian pada pengguna yang baharu atas sebab meter telah diganggu. Walhal yang mencuri elektrik adalah pengguna yang lama, ini adalah tidak adil, sekiranya tindakan undang-undang dikenakan pada pengguna yang baharu. Jadi apakah jalan penyelesaian oleh kementerian dalam menangani isu ini oleh sebab kos peguam yang tinggi tidak mengizinkan ramai pengguna untuk melawan TNB di mahkamah. Jadi, saya minta Menteri memberi jawapan kepada soalan-soalan saya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Yang Berhormat Balik Pulau, silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus kepada Butiran 03000, butiran kecil Butiran 030200 – Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. Saya ingin menyentuh tentang isu perlindungan hidupan liar (wildlife). Saya sedia maklum keperluan untuk menjalankan kerja-kerja penebangan hutan demi projek pertanian, pembangunan dan pembalakan. Akan tetapi tanpa kita sedar, usaha kita mengejar pembangunan, kita menerima banyak berita hidupan liar yang sesat dan pupus. Baru-baru ini kita lihat babi hutan di Persiaran Gurney sesat dan kita tidak mahu juga tiga ekor Badak Sumbu Sumatera terakhir di Malaysia iaitu Puntung, Tam dan Iman berulang. Jadi menjelang tahun 2030, kita mempunyai matlamat memulihara hutan dunia untuk mengekalkan kepelbagaian alam semula jadi, memanfaatkan iklim kita dan menyokong kesejahteraan manusia kerana hutan adalah rumah kepada lebih daripada tiga per empat daripada kehidupan dunia di darat (sumber dari WWF). Saya juga merujuk daripada Global Forest Watch setakat tahun 2000, Malaysia mempunyai 29.4 milion hektar kawasan litupan pokok bersamaan dengan 89 peratus permukaan darat dan 0.74 persen secara global. Jadi Sarawak sahaja mempunyai 11.3 milion hektar kawasan litupan pokok dan ini merujuk pada tahun 2010. Dari tahun 2001 hingga tahun 2019, secara purata sebanyak 4.41 gigatan pelepasan karbon dioksida berlaku di lokasi penebangan hutan. Jadi kita mahu capai matlamat SDG15 berkaitan syarat dan peraturan dalam melindungi, memulihkan ekosistem pengurusan hutan secara mampan serta menghentikan kehilangan biodiversiti. Apa yang saya hendak bangkitkan ialah apabila satu pembangunan diadakan, tidak ada penyelarasan antara agensi-agensi yang terlibat. Tidak ada kesalinghubungan antara penduduk apabila sesebuah kawasan itu diteroka. Jikalau hutan itu kurang daripada 50 ekar, maka EIA tidak diperlukan. Jadi, ini akan mengakibatkan banyak biodiversiti yang hilang. Adakah pihak KeTSA ingin mengadakan ataupun imposed syarat-
syarat seperti membina ecobridge bagi lintasan ataupun bagi binatang-binatang melintas dalam apabila– terutama sekali lebuh raya ataupun highway dibina dalam kawasan- kawasan hutan. Saya juga menyentuh Butiran 030300 – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Saya juga bertanya mengenai status Tiger Valley, Projek Rehabilitasi Harimau Malaya. Apakah status yang ada sekarang? Saya pergi kepada Butiran 04000 – Pembangunan Tenaga. Butiran kecil, Butiran 040200 Tenaga Lestari mengenai Large Scale Solar Programmed (LSSP). Sejak LSS2 berapa peratus syarikat yang berjaya menyempurnakan projek yang telah disenaraikan? Berapa ramai yang benar-benar berjaya menyiapkan projek atau mencapai commercial operation ataupun operasi komersial? Sekiranya peratus sangat rendah, saya minta supaya kementerian menjelaskan sebab-sebab terjadinya faktor itu. Bukankah Suruhanjaya Tenaga ataupun kementerian sepatutnya membuat pra kelayakan syarikat yang sewajarnya untuk memastikan mereka yang diberikan kuota mempunyai keupayaan teknikal dan kewangan untuk menyempurnakan projek tersebut. Bagi syarikat tidak dapat menyempurnakan projek tersebut, adakah ST menarik semula kuota yang diberikan dan membuka semula tender kepada syarikat lain. Bagi LSS4, adakah ST ataupun kementerian telah membuat analisis yang betul, sama ada tarif yang diberikan boleh dilakukan terutamanya memandangkan kenaikan harga modul PV dan juga kos logistik secara global. Apakah kriteria yang digunakan untuk menentukan pembida yang berjaya? Apakah program yang akan dilaksanakan oleh kementerian pada tahun ini untuk memastikan pertumbuhan sihat industri PV, solar dan tenaga diperbaharui bagi meletakkan negara di landasan yang betul dalam usaha mencapai matlamat TBB memandangkan net karbon bersih merupakan isu yang serius? Bukankah kementerian sepatutnya lebih agresif dalam melancarkan program TBB seperti LSS, pemeteran tenaga bersih ataupun solar bumbung, solar kediaman serta inisiatif TBB yang lain serta bio jisim dan angin. Saya ingin menarik perhatian report yang ada di sini iaitu solar PV cumulative capacity. Malaysia merupakan yang kedua terendah selepas Filipina, kita hanya mempunyai 1,493 megawatt dibandingkan dengan Vietnam yang jauh lebih tinggi sebanyak 16,504 megawatt. Jadi saya harap supaya kementerian dapat lebih agresif dalam memberi insentif supaya kita dapat mencapai inisiatif TBB. Satu lagi Tuan Pengerusi, sikit sahaja. Mengenai Butiran 05000 – Program Khusus. Saya ingin minta penjelasan berkenaan Natural History Museum. Saya dapati ada dua kementerian yang membida untuk mengadakan Natural History Museum ini iaitu Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dan juga KeTSA. Adakah ada saling hubungan ataupun ada – di mana saya telah dimaklumkan memang ada tanah seluas lapan ekar di Presint 5 yang telah diperuntukkan untuk Natural History Museum.
Apakah statusnya sebab Natural History Museum ini telah lama kita cakap, sudah 20 tahun tetapi masih belum ada tempat untuk menyimpan spesimen-spesimen yang cukup berharga untuk negara. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Balik Pulau. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Parit. Silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus, dalam Butiran 030100. Hutan di negara kita merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia namun ia akan diancam kemusnahan sekiranya tiada kawalan kepada aktiviti pembalakan haram. Saya ingin bertanya, berapakah jumlah kes pembalakan haram yang telah dikesan sepanjang tahun 2020 sehingga kini dan berapakah jumlah individu yang telah
pun didakwa? Apakah langkah strategik yang akan dilaksanakan oleh kementerian bagi menyelesaikan permasalahan pembalakan haram? Adakah terdapat sebarang perancangan menambah renjer hutan bagi memantapkan lagi pemantauan pencerobohan hutan di negara kita? Seterusnya Butiran 030200. Kita sedia maklum populasi tuntung di negara kita mengalami kemerosotan dan berada dalam keadaan terancam dan hampir pupus. Projek Pembiakan Tuntung di Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung), Bota Kanan di dalam kawasan saya Parlimen Parit dibuka bertujuan untuk melindungi, memelihara dan juga memulihara populasi tuntung serta habitatnya. Saya melihat menerusi Butiran Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ini telah menerima peningkatan peruntukan daripada RM90.2 juta pada tahun 2021 kepada RM91.8 juta pada tahun 2022. Saya yakin dan percaya peningkatan peruntukan ini dapat membantu kementerian melindungi ekosistem haiwan dalam negara yang diancam kepupusan. Justeru itu, menerusi peningkatan peruntukan dalam butiran ini saya ingin mengetahui adakah terdapat peruntukan untuk menyelenggarakan Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) di Bota Kanan dalam Parlimen Parit? Apakah usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kementerian dalam mempromosi Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) untuk menjadi sebahagian dari tempat tarikan pelancongan? Tuan Pengerusi, butiran seterusnya Butiran 030300. Saya ingin membangkitkan perkara mengenai penghasilan lemang menggunakan kelongsong periuk kera. Sungguhpun tumbuhan periuk kera ini tidak tergolong dalam tumbuhan terancam namun pengambilannya juga perlu dipantau. Menerusi peruntukan 2022, sebanyak RM61.38 juta telah diperuntukkan ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Jadi, saya ingin mengetahui adakah terdapat sebarang kajian yang telah dilaksanakan bagi mengenal pasti dan adakah kemudahan periuk kera dalam skala yang besar bagi tujuan perniagaan ini akan mengakibatkan periuk kera diancam kepupusan? Saya juga pohon penjelasan sejauh manakah terdapat bentuk kawalan terhadap pengambilan tumbuhan periuk kera ini supaya ia tidak diancam kepupusan? Butiran seterusnya Butiran 050400. Saya melihat terdapat pengurangan peruntukan yang agak ketara kepada subsidi elektrik ini daripada RM80 juta tahun 2021 kepada RM78 juta tahun 2022. Saya pohon penjelasan mengapa berlaku pengurangan peruntukan subsidi bil elektrik ini? Saya ingin mencadangkan sekiranya dapat dilaksanakan dan dipertimbangkan agar kementerian memanjangkan lagi tempoh pemberian subsidi elektrik ini memandangkan kita sedang melalui fasa pemulihan negara dan masih ramai rakyat yang memerlukan subsidi elektrik ini. Saya yakin dan percaya peruntukan subsidi bil elektrik ini sangat membantu mengurangkan bebanan rakyat yang sedang terkesan dengan pandemik COVID-19. Justeru itu, saya ingin mengetahui adakah terdapat sebarang cadangan untuk memberikan subsidi elektrik ini sehingga berakhirnya Pelan Pemulihan Negara? Seterusnya, Butiran 07100 – PERHILITAN. Saya melihat menerusi butiran ini PERHILITAN telah menerima peruntukan sebanyak RM49.8 juta. Saya ingin bertanya menerusi peningkatan peruntukan ini, apakah strategi yang akan dijalankan oleh kementerian bagi menyelesaikan isu pemburuan haram bagi memelihara hidupan liar di dalam negara kita? Saya ingin bertanya, apakah usaha-usaha perlindungan hidupan liar diancam kepupusan yang akan dijalankan oleh kementerian pada tahun 2022 ini? Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Parit. Yang Berhormat Rasah.
Terima kasih Tuan Pengerusi. cepat sampai giliran saya, tidak sangka. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Saya ada tiga perkara sahaja yang hendak sebutkan untuk Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Pertama, berkenaan dengan hidupan liar, kedua berkenaan dengan JKPTG dan ketiga berkenaan dengan TNB. Saya mulakan dengan perkara pertama iaitu di bawah Butiran 050300 – Program Konservasi Antarabangsa Giant Panda. Saya nampak hampir setiap tahun lebih kurang RM4.5 juta diperuntukkan. Ya, betul kita ada perjanjian antarabangsa dengan negara China berkenaan dengan panda yang ditempatkan di zoo negara. Saya sendiri menyambut baik sebab ia merupakan satu tarikan pelancongan. Saya sendiri pernah pergi dua kali ke zoo negara. Ia boleh membantu negara menjana keuntungan. Cuma, saya rasa sedih sebab kalau butiran ini kita bandingkan dengan Butiran 050800 – National Tiger Conservation Centre (NTCC). Tahun lepas RM1.7 juta, tahun sebelum itu RM1 juta, tahun ini RM0. Saya hendak tanya kenapa? Saya setuju kita lindungi panda tetapi jangan harimau ini, made in Malaysia ini kita pinggirkan, langsung tidak ada peruntukan. Jadi, saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri kenapa boleh jadi macam ini? Janganlah sampai satu tahap besok kata pepatah ‘anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran’. Kita tidak mahu keadaan sebegini terjadi kepada harimau Malaya yang memang asal usul di tempat kita dan menjadi kebanggaan, simbol kepada negara kita. Tuan Pengerusi, perkara kedua berkenaan dengan JKPTG. Ia berkenaan dengan Butiran 990100. Saya nampak sistem e-Tanah daripada RM15 juta dalam bajet 2021 kini naik kepada RM55 juta. Satu lonjakan, saya hendak tanya apakah ada program tertentu yang akan dilaksanakan oleh pihak JKPTG ataupun kementerian ini secara khusus? Oleh sebab kita tahu, kita masih ingat Dewan yang mulia ini telah meluluskan pindaan kepada Rang Undang-undang Harta Pusaka pada 26 Oktober yang dahulu. Ya, ia belum diluluskan oleh Dewan Negara dan saya menjangkakan hujung tahun ini Dewan Negara akan meluluskannya dan seterusnya diwartakan. Sudah tentunya kesibukan kes akan bertambah banyak di JKPTG. Apakah ia berkaitan? Apakah cadangan yang saya pernah kemukakan kepada Yang Berhormat Menteri saya rasa Yang Berhormat Menteri masih ingat iaitu berkenaan dengan apakah boleh e-hearing dan sebagainya boleh dilaksanakan dalam tahun depan? Oleh sebab apabila threshold dia naik daripada RM2 juta kepada RM5 juta sudah pastinya kes akan bertambah banyak. Itu memang kita boleh jangka, sesuatu yang kita boleh agak. Perkara terakhir yang saya hendak sentuhkan Tuan Pengerusi. Saya ambil masa panjang sedikit berkenaan dengan Butiran 050400 – Subsidi Bil Elektrik. Ia berkaitan dengan TNB secara terus. Saya sebenarnya terkejut kenapa kerajaan pula yang bagi subsidi? Pada hal TNB yang sepatutnya gunakan CSR nya sebagai korporat yang besar untuk membantu rakyat. Saya setuju kita bagi rebate zaman susah kepada rakyat. Saya cukup bersetuju perkara ini. Cuma, janganlah dana kerajaan sebab dana kerajaan ini saya percaya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang sama penting ataupun lebih penting lagi khas untuk golongan B40. Saya hendak sebutkan dua senario berkenaan dengan TNB ini Tuan Pengerusi. Sekarang ini sesiapa kalau dia kutip MyKad orang lain dan dia bawa MyKad itu, dia pergi kaunter, dia boleh buka akaun atas nama orang lain. Saya ada dua kes, saya akan sebutkan dua kes ini. Saya mohon jawapan bertulis daripada Yang Berhormat Menteri berkenaan dengan dua kes ini sebab kalau on the spot hendak minta Yang Berhormat Menteri bagi jawapan saya rasa tidak adil untuk Yang Berhormat Menteri. Akan tetapi secara polisi, secara dasarnya apabila kita mohon akaun di TNB sepatutnya TNB ada tambah baik ataupun naik taraf cara dia termasuk ambil thumbprint, ini tidak ambil thumbprint. Tidak ada satu measurement biometric yang mengesan individu tertentu.
Saya ada dua kes ini. Kedua-dua kes ini melibatkan mereka yang kehilangan MyKad dan akhirnya mereka menjadi mangsa. Saya sebutkan nombor akaun 210060526308 melibatkan seorang yang bernama Chan Keng Yong. Kedua, nombor akaun 220575633301 melibatkan individu yang bernama Christopher Tee Kiang Jing. Jadi saya mohon Yang Berhormat Menteri supaya bagi jawapan secara bertulis selepas ini. Perkara terakhir Tuan Pengerusi. Saya hendak berkenaan dengan TNB juga. Ada satu kes— tadi Yang Berhormat Baling kata mungkin ada tuntutan yang berjuta-juta. Ya, ini tuntutan dua juta. Disyaki penyewa menyewa premis tetapi dalam tenancy agreement, ada. Ini Yang Berhormat Menteri sebagai peguam yang lebih senior daripada saya, tentunya boleh menjawab dengan mudah. Ada tenancy agreement. Tenant tulis dalam itu, dia sewa untuk stor tetapi disyaki digunakan untuk Bitcoin. Memang tidak betul lah, kita tahu pengusikan meter dan sebagainya. Akan tetapi, akhirnya tuan punya yang dituntut RM2 juta. Saya hendak sebutkan, tuan punya rumah yang kedai itu, harganya lebih kurang RM600,000 tetapi dituntut RM2 juta untuk pengusikan meter dan juga untuk kekurangan caj dan sebagainya. Saya rasa ia tidak betul dan saya mohon berikan nombor akaun untuk TNB. Mungkin Yang Berhormat boleh berikan jawapan secara bertulis juga selepas ini. Nombor akaun 220486805700, premis itu beralamat di Nombor 309-1, Jalan Haruan 5/7, Pusat Komersial Oakland, 70300 Seremban. Jadi saya mohon supaya kes-kes ini tidak berlaku supaya keadilan kepada semua pihak. Jangan ada pihak yang menjadi mangsa disebabkan ada sindiket yang sengaja. Itu Bitcoin itu memang kita wajib ambil tindakan. Kita kena perangi habis-habisan sebab ia merugikan kita. Akan tetapi, jangan tuan punya rumah, tuan punya premis tersebut dijadikan mangsa. Jadi saya bukan hendak minta kita mengiakan perkara yang tidak betul, yang langgar undang-undang. Yang langgar undang-undang, siapa yang buat, memang wajib kita ambil tindakan yang setegas-tegasnya. Akan tetapi tuan punya rumah (landlord) yang tidak berdosa, jangan dijadikan mangsa. Jadi saya mohon jawapan daripada Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Rasah. Silakan Yang Berhormat Setiu.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Tuan Pengerusi, Butiran 040200 – Tenaga Lestari. Sebagaimana sedia maklum, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli baharu sahaja melancarkan Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET), dengan izin Tuan Pengerusi bagi menawarkan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada mana-mana pengguna mahupun syarikat yang ingin mengurangkan penggunaan jejak karbon. Inisiatif ini amat bertepatan bagi merealisasikan sasaran kerajaan untuk pelepasan greenhouse gas (GHG) dalam masa 30 tahun yang akan datang. Selain itu, usaha ini juga mampu menarik lebih ramai pelabur untuk melabur ke negara kita, khususnya syarikat-syarikat RE100. Oleh itu, persoalan saya, apakah pencapaian semasa kapasiti penjana elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu ini? Apakah usaha kerajaan bagi mencapai sasaran 35 peratus kapasiti TBB dalam penjanaan elektrik negara? Selain itu juga, apakah langkah kerajaan dalam menggalakkan lebih banyak pengguna mahupun syarikat-syarikat besar untuk menggunakan bekalan elektrik daripada sumber TBB ini? Butiran seterusnya, Butiran 030200 – Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. Isu berkenaan konflik gajah dan manusia, sering kali saya bangkitkan di Dewan yang mulia ini. Sebelum ini, petugas-petugas terpaksa menempuh jalan sejauh 20 kilometer untuk memindahkan gajah tersebut seperti yang berlaku di Kampung Ulu
Seladang, Setiu. Bahkan pada minggu lepas, 200 orang peneroka kehilangan pendapatan akibat kebun kelapa sawit diusahakan mereka sejak 10 tahun yang lalu telah dimusnahkan oleh gajah. Oleh itu, apakah usaha kerajaan dalam menangani konflik ini? Adakah peruntukan yang diperuntukkan ini sudah termasuk bagi menambah bilangan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), RELA dan lain-lain lagi? Selain itu, adakah pihak kementerian mempunyai bantuan untuk para petani yang mengalami kerugian? Sehingga kini, berapakah jumlah yang telah diagihkan kepada mereka? Butiran seterusnya, Butiran 40000 – Program Kecekapan Tenaga dan Tenaga Diperbaharui. Saya mohon pihak kementerian menjelaskan secara terperinci program yang akan dibelanjakan. Butiran seterusnya, Butiran 030100 – Perhutanan Semenanjung Malaysia. Saya berpandangan, usaha pihak kementerian menggerakkan usaha penghijauan negara melalui kempen penanaman 100 juta pokok amat perlu bagi menyebarluaskan kepada rakyat terhadap kepentingan memelihara kawasan berhutan dan meneruskan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara diliputi pokok dan kawasan hutan. Namun sehingga kini, berapa banyak negeri yang telah memulakan usaha ini? Berapa peratuskah yang telah dijalankan bagi mencapai sasaran 100 juta pokok pada tahun 2025? Selain itu, apakah langkah kerajaan bagi menarik lebih ramai anak muda turut menyertai kempen tersebut? Tuan Pengerusi, perkara terakhir yang saya ingin bangkitkan pada Butiran 050800 – National Tiger Conservation Centre (NTCC), dengan izin Tuan Pengerusi. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan First National Tiger Survey, hampir 75 peratus plot kajian habitat harimau bermula tahun 2016 sehingga 2018 telah menunjukkan bilangan Harimau Malaya yang telah direkodkan adalah kurang daripada 200 ekor. Data ini menunjukkan bilangan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang amat membimbangkan. Jika tiada penekanan drastik daripada pihak kementerian, tidak mustahil satu masa nanti Malaysia tidak lagi mempunyai populasi Harimau Malaya dalam tempoh lima tahun. Oleh itu, usaha kerajaan melancarkan Kempen Selamatkan Harimau Malaya amat tepat sekali. Soalan saya, kenapakah tiada bajet diperuntukkan pada butiran ini bagi tahun 2022 jika pusat telah pun siap dibina 100 peratus? Namun begitu, tidak mustahil peruntukan tambahan diperlukan setelah dibenarkan pengoperasiannya. Sekian, Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Setiu. Saya menjemput Yang Berhormat Padang Serai. Silakan.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus pada Butiran 030000 – Pengurusan Hutan dan Biodiversiti. Hutan merupakan aset terbesar di Malaysia. Kita sebuah negara yang mempunyai pelbagai spesies yang menarik perhatian dunia atas faktor kita. Akan tetapi semakin hari, keluasan hutan negara semakin kecil atas beberapa faktor termasuk faktor pembalakan. Dalam belanjawan di bawah Butiran 030000, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM185.5 juta dalam menguruskan hutan di Malaysia. Kita dapat melihat bahawa telah berlaku peningkatan sebanyak RM2 juta berbanding tahun sebelum ini. Soalan saya yang ingin saya bangkitkan adalah, apakah undang-undang yang mampu menghalang mana-mana hutan daripada pencerobohan termasuk kawasan hutan simpan negara? Saya percaya, kerajaan kena wujudkan satu kaedah dalam mendedahkan semua pelaku yang telah mengambil keuntungan daripada khazanah hutan negara ini. Butiran 040200 – Tenaga Lestari. Kita merupakan sebuah negara yang sangat bergantung kepada petroleum dan gas asli. Akan tetapi, menjadi masalah adalah tenaga
ini akan berkurangan dari sehari ke sehari. Maka, langkah progresif perlu digerakkan dalam menyelesaikan masalah ini.
Di dalam belanjawan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi butiran Tenaga Lestari. Saya ingin memohon penjelasan daripada kerajaan mengenai langkah yang akan digerakkan oleh kerajaan dalam memastikan sumber asli sekarang akan terus ada untuk generasi akan datang. Selain itu, saya juga ingin bertanya apakah langkah kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli? Perkara ini penting kerana negara- negara dunia telah mula membincangkan perkara ini. Jika tiada perancangan, maka ia akan memberi kesan kepada negara, terutama daripada segi ekonomi. Butiran 050500 – MySuria. Dalam kita mendepani pelbagai cabaran, terutama dalam perubahan iklim. Negara mesti bersedia untuk menjadi negara kalis masa depan dan mempunyai nilai tersendiri. Dalam negara ke arah meningkatkan penggunaan teknologi hijau, banyak perkara perlu ditekankan terutama dalam memastikan rakyat mendapat manfaat daripada polisi ini. MySuria adalah agensi yang ditugaskan oleh kerajaan dalam memastikan rakyat B40 mempunyai peluang untuk menggunakan teknologi hijau dalam meningkatkan pendapatan mereka. Soalan saya kepada kerajaan adalah berapa usahawan di MySuria ini? Ini di bawah Butiran 050500 – MySuria. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta kepada agensi ini. Jumlah yang sama untuk tahun 2021. Saya mohon kerajaan menjawab soalan yang dibangkitkan oleh saya ini. Seterusnya, masalah kawasan. Saya juga ingin mengemukakan tentang masalah yang dihadapi penduduk Kampung Jemerli yang masih menghadapi masalah tenaga elektrik, di mana saluran kabel yang dipasang adalah kecil dan tidak mampu mengalirkan current dengan cara yang baik. Dengan itu, banyak kerosakan peti ais, mesin basuh dan juga lain-lain barang-barang elektrik rosak. So, saya berharap pihak kementerian ambil tindakan segera. Saya telah menuliskan sepucuk surat kepada TNB untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mereka memberi jawapan akan mengkaji dan juga akan mengambil tindakan. Sudah dekat lapan bulan, tidak ada yang ambil apa-apa tindakan, hanya diberitahu memasangkan sebuah transmission di kawasan tersebut akan selesai masalah tersebut tetapi kabel masih lagi kecil dan juga menghadapi masalah. Saya sentiasa menghadap ramai penduduk kampung itu datang berjumpa dan menghadap masalah-masalah yang mereka hadapi. Kesimpulan, saya berharap kerajaan menjawab semua soalan yang saya dibangkitkan agar rakyat di luar sana jelas dengan perkara yang berlaku. Terima kasih Tuan Pengerusi. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Yang Berhormat Padang Serai. Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Krai.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi kesempatan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Saya ingin menyentuh maksud B.23. Butiran 030000 – Pengurusan Hutan dan Biodiversiti. Saya tertarik dengan kempen menanam 100 juta batang pokok dengan sasaran 20 juta setahun. Soalan saya yang ingin saya tahu ialah berapakah jumlah semasa pokok yang telah pun ditanam? Apakah langkah untuk mempergiatkan serta mempromosi program yang sangat baik ini? Saya juga ingin menanyakan, apakah kategori pokok yang termasuk dalam program ini? Adakah program ini memberi bayaran ataupun insentif pada individu yang menyertainya? Isu yang kedua Tuan Pengerusi, maksud B.23 Butiran 030200 – Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. Dalam ucapan Belanjawan 2022, Menteri Kewangan dengan jelas telah menyebut tentang bantuan bagi kos operasi zoo. Saya petik ucapan
beliau, “Pemberian bantuan bagi kos operasi zoo, usaha meningkatkan pembiakan Harimau Malaya dan pelaksanaan Program Frozen Zoo untuk memelihara kelangsungan spesies terancam”. Saya mohon penjelasan lanjut tentang apakah yang dimaksudkan dengan Frozen Zoo tersebut? Untuk Butiran yang sama, saya juga ingin menanyakan adakah terdapat peruntukan untuk zoo di Kuala Krai yang akan diberikan oleh pihak kementerian pada tahun 2022? Zoo yang berkonsepkan taman hutan bandar ini akan memberi peluang kepada pengunjung untuk bermain-main dan berinteraksi dengan haiwan yang terdapat di situ. Saya pasti ia bakal menjadi tarikan utama kerana ia adalah satu-satunya zoo di Kelantan. Saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerian agar membantu menambahkan jenis binatang-binatang di zoo ini bagi menarik lebih ramai pengunjung. Boleh pihak kementerian mengadakan perbincangan dengan pihak PBT ataupun Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk tujuan ini. Semestinya zoo yang bakal dibuka pada Jun 2022 nanti akan menjadi tumpuan kepada seluruh rakyat Kelantan serta dari luar Kelantan. Tuan Pengerusi, saya juga ingin menyentuh maksud B.23 Butiran 040200 – Tenaga Lestari. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada KeTSa atas pelancaran Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) sebagai satu inisiatif strategi kerajaan dalam menawarkan bekalan elektrik kepada pengguna yang berhasrat mengurangkan jejak karbon pada 23 November 2021 yang lalu. Bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) bercirikan hijau dan mesra alam. Ini merupakan satu insentif dan lonjakan baru bagi negara untuk mengurangkan penggunaan karbon. Saya ingin menanyakan, apakah perancangan KeTSa untuk pengaliran tenaga elektrik daripada sumber arang batu kepada tenaga boleh baharu (TBB) yang lebih hijau atau mesra alam sekitar ini akan diperluaskan dan diwajibkan kepada setiap pengguna satu hari nanti? Dalam masa yang sama, adakah tenaga baharu ini akan menjadi lebih murah dan efektif kepada pengguna dan syarikat yang melanggannya selain daripada pengurangan karbon? Adakah tenaga baharu ini diguna pakai di negara-negara lain dan adakah ia memberi kesan yang baik? Saya difahamkan untuk permulaan, caj sebanyak 37 sen bagi setiap kilowatt. Adakah caj ini akan meningkat atau menurun pada masa hadapan? Program GET ini ialah program yang menggantikan Program myGreen+. Adakah myGreen+ telah mencapai tujuannya? Apakah perbezaan antara kedua-dua program ini? Isu yang terakhir Tuan Pengerusi ialah Butiran 050400 – Subsidi Bil Elektrik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana masih mengekalkan subsidi elektrik kepada rakyat sekalipun terdapat sedikit pengurangan daripada RM80 juta kepada RM78 juta. Namun, ia masih dikekalkan. Ini menunjukkan Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa prihatin kepada rakyat. Saya ingin tanyakan, apakah pengurangan ini akan menyebabkan beban kepada pengguna ataupun kesan kepada para pengguna? Maaf Tuan Pengerusi, Butiran terakhir ialah Butiran 050800 – National Tiger Conservation Centre (NTCC). Umum mengetahui kewujudan Harimau Malaya semakin berkurang. Menurut dapatan survey Harimau Kebangsaan pertama yang dilaksanakan mulai 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor. Spesies Harimau Malaya atau Harimau Belang dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika tindakan drastik tidak diambil dengan segera bagi mengatasi kepupusan haiwan-haiwan ini. Justeru, saya ingin menanyakan pihak kementerian. Dalam Belanjawan 2022, kenapa tiada peruntukan untuk NTCC ini sedangkan sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2021? Mengapa perkara ini berlaku? Adakah jumlah Harimau Malaya ini sudah semakin bertambah menyebabkan tiada peruntukan untuk tahun hadapan? Akhirnya, saya ingin bertanya, apakah langkah dan perancangan pihak kementerian untuk meningkat jumlah Harimau Malaya sedangkan tiada peruntukan yang telah diberikan? Terima kasih Tuan Pengerusi. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Saya jemput Yang Berhormat Bakri.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus masuk kepada perbahasan. Pertama ialah Butiran 030000 – Pengurusan Hutan dan Biodiversiti. Saya merujuk kepada muka surat 229, di mana KPI-KPI telah ditentukan untuk Butiran ini. Saya nampak di bawah Outcome 1: Pengurusan Hutan Simpan Kekal Secara Berkekalan. Petunjuk Prestasi Utama yang pertama - Program Restorasi dan Pemulihan Kawasan Terosot Di Semenanjung Malaysia (Kawasan Bekas Teroka Haram dan Kawasan Bencana Alam). Di mana sasaran KeTSA telah menurun daripada 500 hektar pada tahun 2021 kepada 150 hektar pada tahun 2022.
Memandangkan negara kita telah menetapkan sasaran baharu untuk mencapai neutral karbon selewat-lewatnya tahun 2050, adakah ia wajar kita turunkan dan bukan naikkan sasaran program Restorasi dan Pemulihan Hutan Kekal? Kalau kita nampak pencapaian pada tahun 2020, pada muka surat yang sama, kita telah pun mencapai memulihkan 611.87 hektar. Sudah tentunya KeTSA boleh membuat yang lebih banyak lagi dengan sasaran yang lebih tinggi sekarang. Kedua, di bawah program yang sama, outcome kedua, konservasi biodiversiti. Di sana, KeTSA menulis bahawa mereka sasarkan 100 peratus konservasi hidupan liar. Apakah maksud 100 peratus ini? Bagaimana untuk mengukur bahawa kita akan membuat sasaran mencapai 100 peratus dalam konservasi hidupan liar? Seterusnya, saya juga ingin beralih ke Butiran 040000 – Pembangunan Tenaga. Sekali lagi saya ingin merujuk kepada sasaran yang ditetapkan oleh kementerian. Merujuk kepada muka surat 231, Program 4, Pembangunan Tenaga yang spesifiknya saya ingin merujuk kepada transaksi projek sambung taraf bekalan elektrik di antara negara-negara ASEAN. Ini adalah di bawah ASEAN Power Grid, dengan izin. Sasaran diturunkan daripada 300 megawatt untuk tahun ini kepada 150 megawatt untuk tahun 2022. Saya ingin tahu, mengapa? Sebelum ini, kita telah pun memeterai tri-partite perjanjian antara Laos, Thailand, Malaysia (LTM) untuk pengimportan 300 megawatt dari Laos melalui Thailand untuk tahun 2020 hingga 2021 untuk menjadikan satu proof of concept perdagangan multilateral di bawah ASEAN Power Grid. Adakah ia bermaksud bahawa perjanjian LTM ini telah tidak akan diteruskan ataupun dikurangkan kapasitinya? Yang kedua, bagaimanakah pula dengan projek perintis pengeksportan elektrik ke Singapura sebanyak 100 megawatt? Adakah 100 megawatt ini merangkumi dalam 150 megawatt ini? So, Bakri ingin tahu, bagaimana 150 megawatt ini diukur? Dalam topik yang sama, saya juga ingin tanya sekali lagi sebab jawapan bertulis Menteri untuk perbahasan dasar saya adalah tidak memuaskan. Oleh itu, saya ingin tanya sekali lagi. Kenapa kerajaan memutuskan untuk tidak mengeksport renewable energy ataupun tenaga boleh baharu ke Singapura? Adakah ini bermaksud bahawa kita telah pun membuat keputusan dasar di mana kita tidak akan mengeksport apa-apa tenaga baharu ke negara-negara jiran di ASEAN di bawah ASEAN Power Grid? Kita memang tahu bahawa kita ada potensi tenaga boleh baharu yang tinggi dan dengan dapat mengeksport tenaga boleh baharu, kita boleh mencipta lebih banyak kerajaan hijau kepada rakyat Malaysia. Seterusnya, saya ingin beralih kepada Butiran 410000 – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah pun memutuskan untuk mengembalikan bukan sahaja pemilikan terhadap SESB tetapi juga kuasa untuk mengawal selia industri kuasa di Sabah kepada Kerajaan Sabah iaitu mengembalikan hak elektrik penuh pada tangan orang Sabah. Seterusnya, proses due diligent telah pun dimulakan dan telah pun disiapkan oleh kerajaan negeri sebelum ini yang dipimpin oleh Yang Berhormat Semporna. Jika
‘Langkah Sheraton’ tidak berlaku, kita pun telah siap untuk mengembalikan autonomi sektor elektrik kepada rakyat Sabah yang sebelum ini selama 34 tahun di bawah Kerajaan Persekutuan. Saya ingin tahu, apakah pendirian kerajaan terkini? Adakah kerajaan akan mengembalikan autonomi sektor elektrik kepada Sabah seperti yang telah diputuskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan? Dan yang terakhir, saya ingin merujuk kepada Butiran 10803 – Pembangunan Mampan Hutan Sabah. Kerajaan Sabah telah berhasrat untuk menandatangani satu nature conservation agreement dengan syarikat asing yang mana komuniti Orang Asal tidak mengetahui apa-apa pun. Adakah Kerajaan Persekutuan memainkan peranan juga dalam sebarang perjanjian carbon offset dengan pihak asing? Boleh kah kesemua kerajaan negeri berbuat demikian? Itu sahaja soalan saya dan isu yang hendak saya bangkitkan.
Terima kasih Yang Berhormat Bakri. Yang Berhormat Dungun.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya terus kepada Butiran 010200 – Pengurusan Sumber Asli. Soalan saya bagi sektor mineral dan geosains negara. Sehingga bilakah sektor ini mampu menyumbang kepada pendapatan negara? Yang kedua, apakah pada waktu ini kerajaan masih dalam pencarian atau eksplorasi sumber mineral baharu dalam usaha memastikan negara kita tidak kekurangan dalam sumber mineral? Butiran 020100 – Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Soalan saya yang pertama, mengapakah peruntukan bagi jabatan ini dikurangkan daripada RM73,870,500 kepada RM71,711,200 bagi tahun 2022? Sehingga kini, saya dimaklumkan bahawa hanya wujud 69 orang pegawai yang menguruskan urusan pembahagian pusaka kecil di Semenanjung Malaysia sehingga menyebabkan ribuan fail tertunggak. Adakah kementerian mempunyai perancangan untuk menambah bilangan perjawatan ini bagi memudahkan permohonan pembahagian urusan pusaka kecil ini yang kini menjangkau jumlah puluhan ribu kes dapat diselesaikan secepat mungkin? Bagi menguruskan urusan pusaka yang amat penting dan signifikan ini, adakah kementerian mempunyai perancangan menaiktarafkan Unit Pembahagian Pusaka ini kepada satu jabatan bagi melicinkan pengurusan dan operasi? Seterusnya, Butiran 020300 – Mineral dan Geosains. Sumber pasir silika terutamanya dalam kawasan Parlimen Dungun yang menjadi salah satu dari sumber baharu mineral dan geosains. Soalan saya, apakah kelestarian industri ini atau sustainability untuk silika ini pada masa akan datang? Kedua, apakah pihak kementerian akan memantau proses pengurusan industri ini, sehingga ia boleh diproses menjadi sesuatu produk seperti bahan pembuatan kaca, penapis air, fabrikasi water silica dan industri kimia dalam pengeluaran sodium silica? Butiran yang melibatkan 040100 – Pengurusan Tenaga. Soalan saya yang pertama, mengapakah peruntukan dikurangkan dari RM7,941,200 kepada RM6,276,400? Bilakah hasil penilaian tarif elektrik akan diumumkan? Yang ketiga, adakah penggunaan tenaga solar oleh sesebuah kediaman akan dipromosikan bagi memastikan bil elektrik yang ditanggung oleh rakyat tidak melambung tinggi?
Seterusnya, apakah kementerian sudah bersedia untuk beralih dari penggunaan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam masa terdekat ini? Ini kerana kutipan sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini sentiasa dilakukan saban bulan.
Seterusnya terakhir, Butiran 050400 – Subsidi Bil Elektrik. Mengapakah subsidi elektrik dikurangkan daripada RM80 juta kepada RM78 juta pada tahun 2022? Ini kerana ramai di kalangan rakyat belum pulih sepenuhnya dari kegawatan ekonomi kerana COVID-19. Pohon penjelasan. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Terima kasih Yang Berhormat Dungun. Yang Berhormat Kangar.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya bangkit untuk membahaskan Maksud Bekalan dan Pembangunan 23 Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Sebagai lulusan diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan, saya ingin mulakan perbahasan dengan menyentuh Butiran 030000 – Pengurusan Hutan dan Biodiversiti, di bawah Butiran 030100 – Perhutanan Semenanjung Malaysia dan juga Butiran 08600 – Pengurusan Hutan Secara Berkekalan. Sejak dulu kita cuba untuk mematuhi keperluan mengekalkan sekurang- kurangnya 55 peratus kawasan berhutan. Dari segi aspek kawal selia, kita melaksanakan sijil pengurusan hutan Malaysian Criteria and Indicators (MC&I) for Forest Management Certification. Jadi, saya ingin tahu, apakah statusnya? Saya faham pada tahun 2016, sijil pensijilan hutan bagi negeri Kelantan telah ditarik balik. Jadi, apakah alasannya dan apakah tindakan yang diambil untuk membolehkan pensijilan ini diberikan semula? Ini kerana kini sudah lebih lima tahun, saya difahamkan, sijil ini masih belum diperoleh oleh negeri Kelantan. Seterusnya ialah saya ingin menyebut tentang fungsi ekonomi pada hutan iaitu ia bukan hanya tentang pembalakan dan juga industri perkayuan tetapi ia juga boleh dilakukan melalui aktiviti rekreasi alam semula jadi, yakni bidang pengkhususan saya semasa di universiti dan ia melibatkan banyak perkara. Apabila hutan berada di bawah pentadbiran kerajaan, kakitangan kerajaan ini dia bekerja biasanya Isnin hingga Jumaat. Jadi, kalau dia hendak bekerja hujung minggu iaitu pada hari orang berekreasi, biasanya kerajaan akan meningkatkan kos pengurusan. Jadi, saya ingat kerajaan perlukan satu formula baharu supaya kawasan-kawasan ini dapat dinikmati oleh orang ramai. Maksudnya bila orang masuk ke hutan ini, dia terurus dan dijaga kerana kita tahu banyak aspek yang berkaitan dengan keselamatan apabila beraktiviti di kawasan yang seperti ini. Jadi, saya berharap kekangan perkhidmatan kerajaan ini dapat kita alih kepada mungkin kerjasama dengan sektor swasta, kita juga boleh membuat pensijilan yang lebih ramai kepada jurulatih ataupun pemandu untuk pelancong alam sekitar. Ini juga sekali gus akan dapat membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi setempat. Baru-baru ini, terkait dengan biodiversiti, saya ke Melaka juga semasa berkempen. Saya tengok di Melaka ada orang menjual lemang periuk kera. Jadi, saya ingin tahu, apakah sikap kementerian terhadap hal ini? Ini kerana saya difahamkan misalnya macam di Terengganu, telur penyu sudah diumumkan pada tahun hadapan tidak dibenarkan dijual langsung. Jadi, saya berharap ada satu tindakan daripada kementerian tentang perkara ini. Terkait dengan biodiversiti ini juga dalam Butiran 08601 berkaitan hutan bakau. Saya tengok ada program penanaman hutan bakau dan ini kita lakukan hampir saban tahun terutamanya di kawasan zon penampan. Jadi, saya hendak tahu, berapakah peratusan kawasan hutan bakau yang ada di Malaysia sekarang dan apakah cabaran dalam mengekalkannya? Ini kerana saya tahu kebelakangan ini ada banyak projek penambakan oleh negeri-negeri yang menyebabkan kemungkinan kawasan ini terancam. Seterusnya, Butiran 030200 – Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. Dalam perbahasan yang lalu, saya ada sebut tentang penemuan beruk kentoi di negeri Perlis. Jadi, saya hendak tahu, apakah tindakan yang diambil oleh PERHILITAN untuk melindungi spesies ini?
Saya ada melihat gambar seorang rakan saya pergi ke Zoo Negara melihat harimau sangat kurus. Jadi, ini saya harap kementerian dapat berfikir untuk jangka masa panjang untuk kita ubah konsep kita dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar. Mungkin kita tidak perlukan lagi zoo kerana zoo bukanlah habitat sebenar haiwan-haiwan liar ini. Mungkin kita patut belajar daripada Afrika Selatan. Mungkin Menteri dapat aturkan lawatan ke sana untuk melihat bagaimana kehidupan dapat coexist, hidup bersama dengan hidupan liar ini dalam suasana yang lebih menepati keperluan sebenar hidupan liar ini. Jadi, kita dapat menghapuskan kezaliman terhadap haiwan dan juga dapat belajar lebih banyak tentang biodiversiti dan juga kehidupan bersama makhluk- makhluk yang lain. Butiran 040100 – Pengurusan Tenaga. Saya minta perincian, berapakah jumlah subsidi pada setiap rangkaian penghasilan tenaga iaitu dari segi penjanaan, penghantaran dan juga penghasilan? Berapakah jumlah subsidi yang dinikmati oleh TNB berbanding IPP? Jadi, saya mahukan perbandingan. Butiran 040200 – Tenaga Lestari. Saya dua tiga kali telah bangkitkan di Dewan ini iaitu amat malang kerana titik terpanas di Semenanjung Malaysia iaitu di Chuping, di kawasan Parlimen Padang Besar negeri Perlis masih belum dimanfaatkan sehingga kini. Walaupun ada dalam Rancangan Pembangunan Lembah Chuping tetapi ia hampir tidak bergerak sehingga sekarang ataupun terlalu perlahan. Jadi, pelabur-pelabur pun tidak masuk. Jadi, kawasan yang telah dikhususkan untuk ladang solar pun tidak dapat beroperasi. Antara sebabnya ialah kerana tidak ada pelabur ataupun kerajaan negeri tidak mampu untuk menyediakan, misalnya, bangunan pencawang elektrik kerana ini sangat penting khususnya bagi negeri Perlis. Saya berharap Menteri dapat memberikan perhatian khusus kerana ia mempunyai rantaian nilai ekonomi yang besar dan juga dapat membantu negara untuk mencapai sasaran zero carbon pada masa akan datang. Terakhir, Butiran 050500 – Projek MySuria. Semasa ia diperkenalkan, saya tahu peruntukannya berada lebih kurang dalam sekitar RM45 juta yang mana diikuti oleh lebih daripada 1,600 buah keluarga dan ia sepatutnya membekalkan tiga kilowatt kepada TNB selama 10 tahun. Akan tetapi saya tengok peruntukan telah berkurang sangat banyak. Jadi, bagaimanakah sasaran bekalan tiga kilowatt kepada TNB ini dapat dibuat? Sejak beberapa tahun lepas, peruntukan sudah berkurang sangat banyak. Jadi, bagaimanakah peserta-peserta program ini dapat terus terlibat? Jadi, saya hendak tahu, berapakah jumlah peserta yang masih terlibat dan apakah rancangan kementerian? Ini kerana kalau ikut dalam dapatan terdahulu, semua peserta yang terlibat ini keluarga mereka dapat secara purata penambahan pendapatan sebanyak RM250 lebih kurang. Jadi, saya ingat ini pun satu program yang bagus. Sebenarnya program ini mungkin dapat diteliti lanjut kerana ia dapat mencapai beberapa objektif. Selain daripada aspek kemiskinan, ia juga dapat membantu negara untuk mencapai pembekalan tenaga lestari. Itu sahaja daripada saya, Tuan Pengerusi. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kangar. Yang Berhormat Kemaman. Sila.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
Wa’alaikumsalam.
Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya teruskan pada Butiran 050400 – Subsidi Bil Elektrik. Saya ingin menyentuh mengenai Program Rebat Bil Elektrik RM40 yang mana merupakan program khusus kepada kumpulan sasar miskin tegar.
Berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan rakyat, saya telah meneliti syarat kelayakan utama bagi pemohon program rebat RM40 ini ialah bagi ketua isi rumah yang berada dalam kategori miskin tegar berpendapatan purata nasional bulanan sebanyak RM1,169 dan ke bawah. Saya berpandangan bahawa syarat purata berdasarkan satu had asas nilai pendapatan ini akan menyebabkan objektif asal program tidak mampu sampai kepada golongan miskin tegar yang disasarkan secara menyeluruh. Hal demikian kerana definisi miskin tegar adalah berbeza-beza mengikut lokaliti dan kawasan. Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerian untuk mengkaji semula had asas purata pendapatan nasional tersebut dan menetapkan nilai terbaharu miskin tegar berdasarkan negeri bagi membolehkan lebih ramai golongan sasar yang layak menerima manfaat di bawah program rebat bil elektrik RM40 ini. Seterusnya, Tuan Pengerusi, saya masuk kepada Butiran 050600 – Biodiversity Protection and Patrolling Programme. Saya ingin menyentuh mengenai isu Central Forest Spine (CFS) iaitu kompleks hutan yang diklasifikasikan di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) untuk empat kawasan hutan yang sensitif di Semenanjung Malaysia yang punyai nilai ekosistem dan jumlah hidupan liar yang tinggi. Walaupun CFS ini adalah kawasan sensitif dan perlu dilindungi di bawah Rancangan Fizikal Negara, namun di peringkat negeri dan juga persekutuan masih terdapat banyak projek pembangunan yang tidak mampan dan meningkatkan kadar fragmentasi hutan diluluskan seperti pembalakan komersial, pembukaan ladang monoculture berskala besar, perlombongan, pembinaan empangan, lebuh raya, pembangunan tanah tinggi, perkebunan dan sebagainya. Hal ini kerana mengikut Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Senarai Kedua dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, memperuntukkan hal ehwal dan perkara berkaitan tanah, air, hutan dan sumber asli adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Situasi ini menyebabkan berlakunya ketidakselarian polisi ataupun dasar menyebabkan Program CFS ini digazet oleh kementerian di peringkat Persekutuan tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri. Oleh itu, saya mohon penjelasan dari pihak kementerian mengenai langkah-langkah proaktif yang telah diambil kerajaan bagi mewujudkan suatu kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri bagi memastikan objektif Central Forest Spine ini untuk memelihara dan juga memulihara spesies flora dan fauna yang bernilai tinggi berjaya dicapai. Seterusnya Tuan Pengerusi, saya ingin menyentuh mengenai Butiran 050500 – MySuria. Seperti yang kita sedia maklum, Program MySuria merupakan rancangan di bawah SEDA Malaysia bertujuan meningkatkan kedudukan sosioekonomi rakyat B40 melalui e-teknologi hijau. Saya mohon penjelasan kementerian mengenai statistik masyarakat B40 yang telah mendaftar untuk program ini dan sehingga kini berapa ramai golongan B40 yang telah berjaya menambah pendapatan bulanan hasil daripada pemasangan panel solar ini. Selain itu, saya juga ingin mendapatkan penjelasan pihak kementerian mengenai langkah-langkah diambil untuk menggalakkan lebih ramai kalangan B40 yang menyertai program MySuria ini untuk menambahkan pendapatan mereka. Seterusnya Tuan Pengerusi, di bawah perkara 060000 – Dasar Baru. Saya mohon perincian bagi Butiran 060100 – Penyelenggaraan Sistem eKADASTER. Jika dilihat kepada Belanjawan 2022, peruntukan yang diletakkan di bawah butiran ini ialah sekitar RM21 juta berbanding dengan pada tahun ini 2021. Tiada peruntukan untuk butiran tersebut. Justeru, sekali lagi saya mohon perincian daripada kementerian berhubung dengan butiran tersebut. Akhirnya, Butiran 050700 – Cukai Tanah Persekutuan. Saya mohon penjelasan pihak kementerian mengenai jumlah keluasan tanah Persekutuan bagi setiap negeri di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak. Selain itu adakah cukai tanah kepada negeri dilunaskan mengikut jadual dan apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi
memastikan pembayaran cukai tanah mengikut jadual yang telah ditetapkan. Seterusnya, saya mohon perincian kerajaan mengenai jumlah hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan negeri dan dalam masa yang sama saya ingin mendapat maklumat iaitu untuk Kemaman berapakah keluasan tanah persekutuan di daerah Kemaman. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kemaman. Dengan itu, tamatlah sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Saya dengan hormatnya mempersilakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab, 30 minit. Yang Berhormat Menteri.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Keluarga Malaysia. Tuan Pengerusi, Ahli- ahli Yang Berhormat sekalian. Saya ucapkan terima kasih kerana telah diberi peluang untuk membuat penggulungan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah meluluskan peruntukan sejumlah RM1.860 bilion kepada kementerian ini di mana merangkumi RM1.12 bilion perbelanjaan mengurus dan peruntukan pembangunan sebanyak RM739.21 juta. Walaupun ada kekurangan sebanyak 11.538 peratus, ia difahami kerana keadaan ekonomi yang dilanda oleh negara sekarang ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Ahli-ahli Parlimen seramai 18 orang yang telah menunjukkan minat yang mendalam untuk membahaskan isu-isu berkaitan dengan KeTSA ini. Pertama, saya ingin memberi respons kepada sahabat saya Yang Berhormat Kuala Langat, mantan Menteri di kementerian ini yang membangkitkan soal monopoli TNB. Saya ingin menyatakan di sini bahawa sebenarnya, penawaran pindaan (bidding) bagi Large Scale Solar (LSS) sebenarnya dibuka kepada semua pemain solar di negara ini termasuk yang besar atau yang kecil, tidak menyekat mana-mana pihak untuk turut serta dalam proses bidaan ini. Untuk pemain-pemain solar muda dan baharu, KeTSA juga bukan sahaja menawarkan bidding ini tetapi menawarkan Net Energy Metering (NEM) yang membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk berkecimpung dalam bidang solar ini. Yang Berhormat Kuala Langat juga membangkitkan mengenai perkembangan perniagaan TNB di luar negara. Saya suka menyatakan bahawa memang TNB mempunyai jaringan perniagaan di luar negara dan kerajaan tidak mengawal selia perniagaan TNB di luar negara. Mereka terpulang kepada business activity mereka dengan izin, untuk mereka pergi ke luar negara. Yang Berhormat Kuala Langat juga bertanya mengenai tanah Persekutuan yang tidak dibangunkan. Kementerian mempunyai perancangan ke atas tanah-tanah yang diperoleh, yang di-acquire oleh kerajaan untuk tujuan satu-satu kementerian. Saya ingin menyatakan bahawa berdasarkan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Bil. 2 2007, tempoh pegangan kepada satu-satu kementerian adalah selama lima tahun sahaja. Peratusan yang belum dibangunkan sangat rendah sebenarnya iaitu sebanyak 3.67 peratus sahaja iaitu 1,440 lot berbanding dengan 39,247 lot semuanya. Yang tak dibangunkan 1,440 sahaja Tuan Pengerusi. Jawatankuasa Pemantauan Tanah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan akan melaksanakan langkah pemantauan ini. Rakan saya daripada Raub bertanya mengenai adakah peruntukan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST)... [Disampuk]
Yang Berhormat Menteri.
Ya.
Saya ingin mencelah sedikit sahaja Yang Berhormat Menteri.
Ya.
Tentang TNB dan sebagainya, saya setuju bahawa diberi peluang kepada semua player di dalam bidang ini. Akan tetapi, soalan saya adakah ini benar ataupun TNB pun boleh masuk untuk solar ini sebab ia satu syarikat yang terbesar dan ia ada masalah-masalah yang tertentu dengan bidding prosesnya kalau ia masuk. Soalan saya dahulu ialah bolehkah kita bagi tugasan kepada TNB untuk ia grow vertically yang itu, ia akan jadi satu syarikat besar di mana ia akan bantu orang-orang yang hendak masuk ke dalam industri ini dan ia boleh buat. Because the scale of business...
Ya, terima kasih Yang Berhormat.
...untuk ia compete with other people on the ground, ia terlalu besar. Itu sahaja yang saya bertanya. Terima kasih.
Okey, terima kasih Yang Berhormat. Kita akan beri perhatian kepada pandangan Yang Berhormat. Terima kasih. Yang Berhormat Raub menyatakan mengenai peruntukan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) sama ada, ada peruntukan untuk latihan kemahiran dalam industri elektrik. Saya ingin menyatakan terus terang bahawa kementerian tidak menyediakan apa-apa peruntukan khusus kepada ST untuk melaksanakan latihan ini. Walau bagaimanapun, ST sentiasa bekerjasama dengan institusi latihan seperti ILSAS, institut latihan di bawah TNB untuk menawarkan latihan kemahiran dan mentauliahkan institusi ini sebagai pusat latihan. Itu peranan atau sumbangan ST secara tidak langsung. Yang Berhormat Raub juga bertanyakan mengenai pemindahan gajah-gajah liar yang dikatakan kalau boleh seumpama Jurassic Park. KeTSA melalui PERHILITAN amat prihatin mengenai konflik gajah... [Disampuk]
Yang Berhormat Menteri, Raub. Soalan saya tadi berkenaan dengan chargeman, wireman. Kalau mengikut kepada industri semasa, bekalan tenaga buruh ini berkurangan. Oleh sebab itu, soalan saya tadi berkisar supaya pihak kementerian dapat bekerjasama walaupun mungkin latihan itu dikendalikan oleh pihak lain. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Sebagaimana saya sebutkan tadi, secara direct-nya ST ini tugasnya sebagai regulator. Akan tetapi, ia memberi kerjasama memberikan pengiktirafan kepada institusi-institusi itu. Saya sudah pergi ke kepada ILSAS bersama dengan ST, memang banyak sumbangan ST secara tidak langsung Yang Berhormat. Terima kasih. Untuk pemindahan gajah ini, KeTSA telah membangunkan sanctuary gajah, tiga pusat pemuliharaan gajah telah ditubuhkan. Satunya di kawasan dekat dengan Raub iaitu Kuala Gandah, Pusat Konservasi Sungai Deka di Terengganu dan juga pusat sanctuary di Johor. Semua pusat konservasi akan juga dibangunkan di Perak dengan nama Perak Elephant Sanctuary. Jadi ini tempat-tempat yang kita hendak buat. Gajah ini memang telah mengalami masalah kerana habitatnya telah diganggu dan banyak lagilah soal-soal lain.
Yang Berhormat Raub juga membangkitkan mengenai Malaysia Forest Fund (MFF). Pada tahun 2022, adakah rancangan untuk menanam semula pokok? Saya menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM3.224 juta yang disediakan untuk MFF dalam Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada aktiviti memuktamadkan pembangunan instrumen Forest Conservation Certificate (FCC) dan Forest Carbon Offset (FCO), mewujudkan pangkalan data (registry) berkenaan dengan aktiviti REDD+ dan membangunkan kapasiti dalam kalangan pemegang taruh khususnya kerajaan-kerajaan negeri. Itulah tujuan peruntukan kepada MFF. Yang Berhormat Raub juga bertanya, berapakah peruntukan tambahan untuk menguruskan konflik gajah ini. Sebagai mana yang diberi tahu, Jabatan PERHILITAN telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menguruskan konflik gajah ini.
Peruntukan mengenai kolar satelit gajah, ini adalah program yang sedang dilaksanakan iaitu pemasangan kolar satelit gajah untuk memantau pergerakan mereka. Yang Berhormat Sik membangkitkan mengenai isu Hutan Simpan Ulu Muda, apakah peraturan untuk membolehkan penduduk tempatan terus mencari rezeki. Yang Berhormat Sik, saya hendak beritahu, kampung saya. Namun demikian, “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Tuan Pengerusi, saya masih di Kota Bharu. Tidak mengganggu Yang Berhormat Sik ya. Pengeluaran hasil bukan hutan seperti rotan, damar dan sebagainya sebenarnya dibenarkan melalui undang-undang iaitu lesen kecil yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan. Maknanya, tidak ada sekatan kepada aktiviti rakyat untuk mencari sumber ini. Tujuan projek penyelidikan yang dilaksanakan ini, mengenai FRIM yang dibangkitkan adalah untuk mengenal pasti peranan kawasan hutan selain daripada sumber kayu-kayan seperti sumber air, bahan tumbuhan ubatan dan kebergantungan penduduk setempat terhadap hutan simpan. Itulah peranan FRIM yang telah di...
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih. Boleh balik ke Sik, kita berkelah di sana. Insya-Allah.
[Ketawa] Okey, terima kasih. Seterusnya, Yang Berhormat Sik juga membangkitkan mengenai perancangan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada arang batu bagi penjanaan elektrik. Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan telah menetapkan sasaran kapasiti penjanaan elektrik daripada tenaga boleh baharu (TBB) ini sebanyak 31 peratus pada tahun 2025 dan sebanyak 40 peratus pada tahun 2035 bagi menyokong aspirasi kerajaan ke arah GHG bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050. Kerajaan juga membuat keputusan untuk tidak membangunkan loji-loji jana kuasa arang batu yang baharu. Dengan perancangan ini, kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga dijana oleh arang batu. Yang Berhormat Sepang, sahabat saya – Satu lagi daripada Yang Berhormat Sik mengenai menguruskan sumber mineral REE. Saya hendak menyatakan di bawah Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM2021-2030), kementerian ini menekankan aktiviti penambahan nilai dan membangunkan industri pertengahan dan hiliran sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Sik. Maknanya bahan-bahan yang diperoleh di negara kita itu tidak dieksport sepenuhnya secara mentah (raw), sebaliknya akan diuruskan supaya ada aktiviti hiliran yang akan dibuat di negara kita ini untuk menambah nilai bahan-bahan untuk dieksport ke luar negara. Yang Berhormat Sepang bertanya mengenai – Beliau tidak ada. Perlukah saya jawab Tuan Pengerusi?
Boleh bertulis.
Saya rasa bertulislah, mengenai royalti Melaka dan sebagainya ini. Beliau tidak ada. Yang Berhormat...
Yang Berhormat Menteri, tadi saya ada mencelah Yang Berhormat Sik berkenaan dengan proses. Apabila kita proses mineral itu, ia mengeluarkan bahan sisa yang bersifat radioaktif. Jadi, apabila Yang Berhormat Menteri kata tidak semua akan dieksport dan sebahagian akan digunakan di sini, dalam negara, maksudnya the process of extraction, dengan izin Tuan Pengerusi, the process of extraction of the rare-earth elements daripada bauksit itu akan dilakukan di sini. Jadi, mengambil pengalaman daripada Lynas yang mana ia punya waste itu bersifat radioactive in nature, sampai sekarang ini kita bermasalah untuk mendapatkan tapak pelupusan kekal. Jadi, adakah Yang Berhormat Menteri dan kementerian melihat kepada masalah ini? Terima kasih.
Okey, terima kasih Yang Berhormat Kuantan. Saya ada penjelasan yang saya hendak sebutkan. Perkara ini banyak dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Langat, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Baling dan juga Yang Berhormat Kuantan sendiri. Saya hendak maklumkan bahawa setakat ini, di Malaysia ini belum ada satu SOP yang jelas mengenai pengurusan mineral yang berbentuk non-radioactive ini. Sekarang ini, kita sedang menjalankan siasatan dan
memuktamadkan SOP untuk NRREE di satu projek perintis di Gerik, Perak yang akan – SOP ini akan diperluaskan ke semua negeri termasuk Kedah, Terengganu, Pahang dan sebagainya, menunggu masa sahaja untuk dimuktamadkan. Everything will be on this SOP Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri, apabila penggunaan istilah non-radioactive minerals, ia misleading. Memang ia mineral ataupun bauksit itu tidak berbentuk radioaktif, tetapi the process of the extraction itu. Apabila kita extract the element, ia punya waste itu, yang itu ada sebab dalam elemen, dalam bauksit itu ada bahan-bahan radioaktif tetapi it is not – Ia below the amount yang to be classified as radioactive.
Betul, betul.
Sebab itu ia non-radioactive. Akan tetapi, tidak bermaksud tidak mengandungi radioactive elements tersebut.
Ya, saya hendak sebutlah. Itulah. Ada bahan sisa seumpama yang dipanggil torium, yang walaupun kadarnya sangat rendah daripada segi radioaktifnya, pengendaliannya juga ada dalam SOP ini. Jadi, SOP ini akan dilaksanakan di seluruh negara berdasarkan apa yang telah dibuat di Perak. Yang Berhormat Hang Tuah Jaya bertanya mengenai inisiatif jangka panjang model baharu Zoo dan Pameran Tetap (ZPT). KeTSA melalui PERHILITAN akan melaksanakan inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan hidupan liar di ZPT terjaga, iaitu melibatkan pembangunan model baharu ZPT dan mengkaji semula peraturan berkaitan pengendalian ZPT di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020. Model baharu ZPT bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan ZPT kepada kerajaan serta mengukuhkan operasi supaya lebih berdaya maju. Yang Berhormat Hang Tuah Jaya juga bertanya mengenai kajian hem untuk kegunaan fiber. Saya ingin menyatakan bahawa isu hem ini memang – Saya ada satu kertas yang panjang di sini, tetapi saya tidak berhasrat untuk membacanya, iaitu industri hem ataupun marijuana perubatan. Perkara ini sudah lama diputuskan oleh kerajaan, tetapi ia masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Kalau tidak silap saya, dalam tahun 2018 telah diadakan satu projek perintis di sebuah tempat di Kedah, iaitu di Bukit Tangga. Dekat dengan kampung Tuan Pengerusi. Akan tetapi, projek ini tergendala sehingga sekarang ini. Yang Berhormat Hang Tuah Jaya sebagai seorang lawyer mungkin faham kerana ada konflik di mahkamah mengenai tanah. Tanah yang telah dibeli oleh Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) di Kedah yang joint venture dengan KeTSA – Tanah dibeli daripada MB Inc, tetapi sebuah syarikat telah memasuki kaveat, private caveat terhadap tanah itu. Di High Court, permohonan ditolak tetapi saya difahamkan bahawa di Court of Appeal, mereka telah mendapat perintah untuk kaveat ini. Jadi, kita dalam proses untuk menyelesaikan perkara ini. KeTSA pada ketika ini sedang mengkaji untuk melaksanakan kajian perintis hem sebagai sumber fiber. Walaupun bukan untuk perubatan, perubatan ini di bawah MAFI. Akan tetapi, untuk fiber ini di bawah KeTSA dan kita tahu bahawa hem adalah kanabis yang mempunyai kadar kandungan bahan psikoaktif di bawah 0.5. Sekiranya melebihi kadar ini, ia akan memberi kesan khayal dan sebagainya.
Yang Berhormat Menteri.
Yang Berhormat Hang Tuah Jaya juga bertanya – Ya.
Yang Berhormat Menteri, sedikit tentang hem ini. Kalau tidak silap saya, SOPnya pun sudah disiapkan. Semua agensi kerajaan sudah pun diberitahu dan mereka sudah pun setuju dengan tanaman hem ini.
Kalau ada masalah dengan sebuah tanah di NCIS ini, bolehkah kerajaan menggunakan tanah lain dan mulakan program ini terus...
Ya, betul kita ke arah itu Yang Berhormat.
...Sebab ini banyak orang tunggu Menteri.
Memang ke arah itu. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kita telah – kerajaan telah membelanjakan hampir RM20 juta untuk membuat infra asas kepada tanah di Bukit Tangga ini tetapi kita akan cuba cari tempat yang lainlah sebagaimana Yang Berhormat Kuala Langat sebut. [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Jawatankuasa] Mengenai ketum, ketum adalah tertakluk kepada Akta Racun sebagaimana Yang Berhormat Hang Tuah Jaya maklum. Justeru itu, kajian yang dijalankan terhadap ketum perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan. Kajian dijalankan oleh FRIM adalah untuk meneroka nilai- nilai perubatan daripada ketum ini. Masih di dalam tindakan pihak FRIM. Perkara ini sedang dijalankan. Yang Berhormat Tebrau membangkitkan mengenai TNB menuntut kerugian daripada pengguna elektrik. Saya hendak mohon supaya Yang Berhormat Tebrau memberikan maklumat terperinci kepada kita. Saya juga amat prihatin mengenai masalah yang dihadapi oleh rakyat. Kita kerajaan yang prihatin, kita hendak tahu perkara ini, kalau sekiranya perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tebrau itu memang tepat saya akan menasihatkan TNB supaya mengambil tindakan yang sewajarnya. Yang Berhormat Tebrau juga membangkitkan mengenai promosi penyelidikan perhutanan di Malaysia. Pihak kerajaan telah memperuntukkan bajet tahunan untuk mengurus kira-kira RM60 juta setahun kepada FRIM. Manakala bagi pembangunan kira- kira RM30 juta diluluskan setahun bagi Rancangan Malaysia (RMK). Peruntukan yang berterusan ini pihak FRIM boleh melaksanakan fungsi dia sebagai pusat R&D perhutanan yang turut melibatkan aktiviti promosi dan pengembangan berkaitan dengan bidang penyelidikan perhutanan di negara ini. Yang Berhormat Baling? Sahabat saya.
Yang Berhormat Baling tidak ada.
Tidak ada ya, saya akan bagi bertulislah. Ini jiran saya. Yang Berhormat Balik Pulau? Yang Berhormat Balik Pulau ada, terima kasih. Yang Berhormat Balik Pulau bertanya adakah kerajaan bercadang mewujudkan pembinaan satu...
Eco bridge, eco bridge.
Eco bridge.
Ha, eco bridge ataupun dipanggil viaduct. Berdasarkan cadangan yang terkandung dalam Pelan Induk Central Forest Spine. Sekiranya terdapat cadangan baru untuk mewujudkan bridge ini di Balik Pulau, kajian lanjut yang bersesuaian insya-Allah kita akan – saya akan arahkan jabatan untuk mengkajilah kalau sesuai di Balik Pulau, Yang Berhormat. Yang Berhormat Balik Pulau juga bertanya mengenai status program LSS, tindakan yang diambil oleh ST sekiranya pemaju LSS tidak dapat menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan. Saya ingin maklumkan bahawa semua projek LSS1 telah mula beroperasi dan 70 peratus projek di bawah LSS2 telah mula beroperasi. Pemaju projek LSS3 telah memulakan kerja di tapak dan dijangka akan beroperasi menjelang 2022 manakala LSS4, keputusan bagi bidaan baru sahaja diumumkan pada awal tahun 2021. Projek ini dijangka siap 2023-2024.
Sekiranya pemaju tidak mematuhi milestone projek ditetapkan, kegagalan ini akan menyebabkan kuota ditarik balik dan dikenakan denda sehingga projek disiapkan. Itu yang ditetapkan.
Yang Berhormat Menteri masa sudah habis, kalau hendak perlu tambahan masa sebut berapa minit. Lima minit Yang Berhormat Menteri, 10 minit?
Saya...
Maksimum 15 minit lah.
Baru lapan orang jawab, ada 18.
Masa 10 minit?
Ha, 10 minit boleh.
Tambahan masa 10 minit.
Saya minta 10 minit. Saya ingin...
Minta celahan Yang Berhormat Menteri. Apa yang saya bangkitkan tentang hidupan liar itu ialah apabila sesuatu pembangunan yang hendak diadakan di satu kawasan hutan diteroka dan ditebang dan sebagainya, tidak ada syarat-syarat yang dikenakan oleh KeTSA ataupun Jabatan PERHILITAN atau Jabatan Perhutanan mengenai nasib hidupan liar itu. Jadi, banyak habitat yang hilang dan kita lihat mereka berkeliaran di kawasan-kawasan perumahan, di jalan raya dan sebagainya kerana tidak ada satu yang di impose oleh kementerian.
Terima kasih, terima kasih Yang Berhormat Balik Pulau. Saya setuju sangat dengan pandangan Yang Berhormat itu tetapi kalaulah kita mengkaji, saya amat rapat dengan PERHILITAN. Saya mengkaji kenapa berlakunya perkara-perkara seumpama ini, hidupan liar kita ini terbiar dan juga mengalami nasib yang amat malang sekali. Ini adalah berpunca daripada apa yang kita nyatakan ketidakseimbangan antara pembangunan dan juga kelestarian alam sekitar. Inilah peranan kita di kementerian ini untuk kita imbangkan perkara ini. Pembangunan kita hendak teruskan tetapi kelestarian hidupan liar dan juga sumber semula jadi ini amat kita pentingkan. Kalau kita boleh selesai itu kita boleh kurangkan. Tidak boleh selesai tidak boleh, tidak kiralah kerajaan mana pun Yang Berhormat. Saya ingin membuat satu jawapan yang penting kepada bekas rakan sejawat saya dari Bakri, seorang pakar dalam bidang tenaga. Saya akui. Beliau bertanya mengenai penjualan elektrik 100 megawatt ke negara Republik Singapore yang dilihat tidak membenarkan mengeksport TBB, daripada TBB ini, satu yang merugikan. Saya hendak jelaskan kepada Yang Berhormat bahawa kerajaan telah membuat keputusan tersebut kerana ia banyak memberi kelebihan dan manfaat kepada rakyat dan negara kita. Bukan merugikan negara. Kita tidak menjual power daripada penjanaan TBB ini, sebenarnya menguntungkan negara. Ini adalah kerana kerajaan perlu meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber TBB. So, kalau kita dah jana penjanaan sumber daripada TBB and then kita eksport ke luar negara yang untung adalah negara yang membeli daripada kita. Ini kerana ia banyaklah, sebagaimana Yang Berhormat tahu, banyak negara pelabur-pelabur RE100 yang memerlukan RE atau renewable energy 100 percent akan pergi kepada negara yang mempunyai kadar ataupun kuota power TBB yang banyak. Jadi kita tidak jual. Ini adalah keputusan Kabinet semasa saya menjadi Menteri baru-baru ini.
Ya, Tuan Pengerusi. Saya hendak katakan kita ada banyak TBB ya. Solar sahaja kita ada 270 gigawatt di mana kapasiti sekarang kita ada satu Malaysia 35 gigawatt sahaja. Ia bermaksud solar sahaja potensi kita adalah lapan kali ganda dari apa yang kita perlukan. Ia bermaksud kalau kita jana untuk TBB kita boleh
gunakan untuk Malaysia dan juga ada lebihan yang banyak untuk dieksportkan. Saya hendak katakan di sini...
Untuk makluman...
...Kalau kita boleh eksport, saya mohon kalau boleh Menteri boleh kaji semula. Bukan hendak gaduh di sini, saya ingin...
Saya setakat inilah, setakat ini Yang Berhormat Bakri, kita menetapkan tidak menjual, walaupun sebelum ini Menteri sebelum saya tidak ada mensyaratkan penjanaan daripada TBB tidak boleh dijual. Akan tetapi kerajaan sekarang ini menetapkan tidak boleh dijual. Satu lagi Yang Berhormat, saya hendak beritahu Yang Berhormat, Yang Berhormat lebih pakar dalam bidang ini. Carbon avoidance, untuk menuntut carbon avoidance, kita perlukan kepada projek TBB ini, dengan kita menjual kepada negara lain kita tidak boleh menuntut carbon avoidance bagi projek TBB ini yang sangat penting kepada negara kita yang memenuhi Paris Agreement pun, kita perlu...
Tuan Pengerusi, saya telah kata bahawa kita ada banyak RE, potensi RE.
Ya, kita...
Kita boleh menjual supaya kita boleh menjana lebih banyak pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.
...Walaupun Yang Berhormat kata banyak tetapi kerajaan berpendapat...
Inilah kenapa kita perlu untuk menjual.
...Ia perlu dikekalkan. Itu keputusan kerajaan. Selain daripada itu...
Kalau boleh minta kerajaan untuk mengkaji semula keputusan ini kerana...
Keputusan yang tidak wajar.
Itu pandangan Yang Berhormat. Setakat ini kita...
...Kalau kita boleh eksport kita memang boleh menumbuhkan lebih banyak pertumbuhan ekonomi dan juga membantu untuk mencipta lebih banyak pekerjaan. Pekerjaan yang baik untuk jurutera, untuk analisis, untuk juruteknik dan lain-lain.
Kita juga mengambil banyak faktorlah Yang Berhormat. Terima kasih Yang Berhormat ya dalam cadangan itu. Mungkin kita boleh pertimbangkan selepas ini. Akan tetapi buat masa ini Malaysia juga terpaksa menanggung opportunity cost ataupun kos melepas jika sekiranya pembangunan loji TBB ini untuk tujuan eksport ke Singapura dibenarkan. Kita terpaksa membayar opportunity cost. Tanah yang digunakan untuk membina ladang solar tidak boleh digunakan bagi tujuan lain pada satu tempoh jangka masa yang panjang sedangkan untuk eksport ia lebih menguntungkan kalau sekiranya kita tidak eksport ke luar. Itu yang saya hendak sebutkan. Keduanya, Yang Berhormat Bakri juga bertanya status penyerahan kuasa Sabah iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan memang komited dengan cadangan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik Sabah dan SESB kepada Kerajaan Negeri Sabah. Akan tetapi kerajaan sekarang ini sedang memuktamadkan pakej cadangan balas ke arah pakej yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Kerajaan Negeri Sabah, dia memberikan beberapa syarat dan kita sedang finalize kan perkara itu. Memang itu adalah hasrat sebagaimana zaman PH dahulu, kita hendak
serahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah. Setelah pakej cadangan balas ini dimuktamadkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri, rundingan akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah untuk kita serahkan kepada mereka. Saya ingin menjawab soalan daripada Yang Berhormat Kuala Krai mengenai Program Penghijauan Malaysia. Ini yang terkini, jumlah pokok yang telah ditanam sehingga hari ini Yang Berhormat Kuala Krai, kita telah berjaya menanam sebanyak 24.19 juta pokok Tuan Pengerusi, ditanam pada hari ini.
Ya.
Ini menunjukkan pada tahun 2021, kita telah melebihi 100 peratus pencapaian kita. Ini pencapaian yang amat baik. Kita bermula pada 5 Januari. Sehingga hari ini, 29 November sudah 24 juta. Sepatutnya 20 juta sudah memenuhi kuota. Jadi, kita mahu pada tahun 2025, kita mencapai 100 juta penanaman pokok untuk Program Penghijauan Malaysia ini. Untuk anak-anak muda, kita juga memang mempunyai program-program dan aktiviti termasuklah menarik minat dalam media sosial, Instagram, Facebook, TikTok, Twitter dan sebagainya. Kita mempunyai bilangan follower yang aktif dan mereka inilah yang akan memberi sumbangan kepada penanaman pokok-pokok ini. Tuan Pengerusi, saya rasa yang lain itu...
Yang Berhormat Menteri, Rasah belum lagi jawab.
Jawab Kangar, Kangar.
Okey, Yang Berhormat Rasah, lah last ya.
Kangar lah sekali.
Yang Berhormat Seputeh hendak tanya apa pula?
Boleh saya tanya fasal tanam pokok?
Mahu tanam pokok?
Tanam pokok. Ini kerana apa yang kita dengar ialah kerajaan akan menanam berjuta-juta pokok. Akan tetapi bagi saya, kalau kita hendak menuju ke arah net zero carbon emissions, sebenarnya adalah perlu seluruh negara, semua pihak terlibat. Jadi macam Filipina, mereka mengehadkan ada undang-undang, setiap graduan mesti menanam sepuluh batang pokok. Kalau tidak tanam, tidak boleh graduate. So, I suggest that yang penanaman pokok ini bukan dalam kementerian Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Seputeh. Saya menerima baik pandangan itu tetapi jangan apabila kerajaan impose...
Yang Berhormat Menteri...
Compulsory itu nanti Yang Berhormat Seputeh kata, “Apa ini paksa-paksa? Tidak boleh”.
Yang Berhormat Menteri, Padang Serai. Padang Serai mencadangkan kalau boleh...
Sekejap, Yang Berhormat Rasah sekejap ya.
Okey Yang Berhormat Rasah.
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Rasah tadi membangkitkan mengenai perkara berkaitan dengan TNB yang telah mengenakan ataupun caj kepada tuan punya bangunan yang mana mereka sebenarnya tidak menggunakan elektrik ataupun bekalan elektrik di bangunan mereka. Saya
mengesahkan, saya terima surat daripada Yang Berhormat Rasah yang mewakili rakyatnya mengenai perkara itu. Saya sedang mengkaji perkara itu Yang Berhormat. Keduanya – ini yang terakhir, last Tuan Pengerusi.
Sila.
Kangar jawablah sedikit.
Mengenai banyak soalan berkaitan dengan kenapa tidak ada peruntukan untuk National Tiger Conservation Centre (NTCC) sedangkan pada tahun lepas ada RM1.7 juta tetapi tahun ini kosong. Saya hendak maklumkan dengan jelas kepada Dewan ini bahawa untuk makluman, NTCC ini sebuah projek yang telah siap sepenuhnya. Jadi NTCC ini adalah sebuah tempat yang digunakan dan dibina dengan pagar dan sebagainya untuk tujuan dilepaskan harimau-harimau ini, dipanggil rewilding. Daripada ia dibuat di tempat rehab nya di Sungkai dan juga beberapa buah tempat lagi, akan dilepaskan di NTCC ini. Oleh sebab itulah, pada tahun ini tidak ada peruntukan lagi. Juga dibangkitkan oleh Yang Berhormat Rasah tadi.
Sekejap Yang Berhormat Menteri. Ini saya terima jawapan daripada Yang Berhormat Menteri. Cuma yang fasal TNB itu, saya ada bagi tiga nombor akaun, saya minta dijawab secara bertulis.
Boleh, boleh. Yang Berhormat bawa kepada saya.
Tidak, tadi...
...Saya akan bela, Insya-Allah.
Tadi saya ada sebut itu, mungkin selepas ini saya bagi...
Boleh, boleh.
Secara bertulis.
Kemukakan kepada saya,...
Terima kasih.
Saya akan kemukakan kepada TNB.
Okey.
Jadi, dengan kata-kata itu Tuan Pengerusi...
Yang Berhormat Menteri, sedikit.
Lain-lain itu saya akan...
Berkenaan tanam pokok.
Kangar tidak ada sentuh pun.
Berkenaan tanam pokok.
Ya.
Yang Berhormat Menteri, saya cadangkan kalau boleh, tanam pokok buah-buahan dalam hutan sebab kera banyak di kawasan-kawasan taman sebab dia tidak dapat makan. Semua datang ke sini dan banyak mengacau dan ramai yang kompelin.
Dia masuk kampung ya?
Kalau boleh tanam pokok buah- buahan.
Boleh, boleh. Kita kaji pandangan Yang Berhormat Padang Serai.
Kalau tak dak, dia mai kawasan pekan, orang kita tengok dia lompat sana lompat, kita pun lompat. Parti-parti lompat.
Kepada rakan saya Yang Berhormat Kangar dan juga lain-lain itu ...
Kulai ada satu juga.
Saya ingat saya akan jawab secara bertulis.
Yang Berhormat Menteri, Kulai sini satu perkara sahaja hendak minta perhatian Yang Berhormat Menteri. Isu di Kulai sama dengan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Rasah tadi. Saya rasa memang ada orang di mana IC mereka telah hilang dicuri dan disalah guna pakai oleh ejen-ejen tertentu untuk membuat permohonan untuk TNB.
Terima kasih Yang Berhormat Kulai. Saya akan kaji, kalau kes itu genuine, kita akan...
Tidak, saya hendak bagi satu cadangan untuk TNB adalah kenapa tunggu sampai bil elektrik itu tertunggak lebih daripada RM100,000, RM200,000...
No, isunya...
Baru...
Sekarang ini Yang Berhormat Kulai, bukan bil semasa.
Betul.
Apabila dibuat kajian, ada meter itu telah diubahsuai, ada formulanya. Itulah dapat balik RM2 juta dan beberapa juta itu. Bukan bil semasa. Bila semasa mereka bayar tetapi siasatan dibuat menunjukkan bahawa meter itu telah diubahsuai menyebabkan mereka membayar kurang daripada sepatutnya. Itulah berlaku tuntutan di mahkamah.
Oleh sebab itu saya minta Yang Berhormat Menteri, dengar dahulu.
Ya.
Dalam kes yang saya hadapi itu, orang itu memang tidak bayar langsung tetapi bil tertunggak hanya TNB issue itu surat guaman selepas bil tertunggak itu menjadi RM200,000.
Boleh...
Jadi saya rasa kalau TNB...
Yang Berhormat boleh kemukakan kepada saya...
Potong elektrik lebih awal, isu ini tidak akan jadi begitu besar.
Kita akan mengambil maklum.
Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kulai. Jadi dengan itu, saya sekali lagi Tuan Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada semua rakan yang telah mengambil bahagian. Tidak sempat itu, saya akan membuat secara bertulis dalam tempoh lima hari, insya-Allah. Terima kasih, assalamualaikum.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan itu. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya ialah bahawa wang sejumlah RM1,120,915,300 untuk Kepala B.23 Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2022 jadi sebahagian daripada Jadual hendaklah disetujukan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala B.23 diperintah jadi sebahagian daripada Jadual]
Masalahnya ialah bahawa perbelanjaan di bawah Kepala P.23 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2022 hendaklah diluluskan. [Masalah dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan] [Kepala P.23 jadi sebahagian daripada Anggaran Perbelanjaan] [Majlis mesyuarat bersidang semula]
Ahli-ahli Yang Berhormat, mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi esok, hari Selasa, 30 November 2021. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.18 petang]
Kamar KhasSpecial Chamber
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Penipuan Sindiket Keldai Akaun (Mule Account)Special Chamber
Bismillahi Rahmani Rahim, Tuan Yang di-Pertua. Penipuan sindiket keldai akaun (mule account) dilaporkan semakin bertambah setiap hari. Namun apakah usaha kerajaan untuk mengatasi masalah ini? Undang-undang dan peraturan sedia ada pula tidak membantu, malah menyukarkan lagi hidup mangsa.
Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil maklum, pertama, sejak beberapa bulan lalu, semakin ramai rakyat Malaysia yang terjerat dengan penipuan sindiket keldai akaun ini malah melibatkan banyak bank tempatan sejak dikesan oleh Polis Diraja Malaysia pada tahun 2018. Mereka yang menjadi mangsa ini kemudian menghadapi kesukaran untuk membuka akaun baharu akibat telah disenaraihitamkan oleh pihak bank, sekali gus menggelapkan masa depan mangsa yang sukar berurusan dengan institusi kewangan termasuk di Sabah dan Sarawak. Apakah langkah-langkah jangka pendek dan panjang Kementerian Kewangan untuk menyelesaikan masalah ini?
Tuan Yang di-Pertua, saya memohon pihak Kementerian Kewangan Malaysia untuk memberi penjelasan segera dengan mengemas kini undang- undang sedia ada atau memperkenalkan peraturan baharu agar rakyat tidak terus terbeban dengan keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang tidak menentu ini. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat, Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus soalan tentang mule account pada hari ini.
Saya ingin memberikan penjelasan bahawa, Bank Negara Malaysia
(BNM) sebenarnya telah mengeluarkan satu garis panduan kepada semua institusi kewangan bagi mencegah dan membendung kes penipuan kewangan di mana akaun keldai juga dikenal pasti menjadi instrumen aktiviti penipuan.
Institusi-institusi kewangan juga telah diarah untuk memastikan setiap transaksi perbankan mematuhi ciri-ciri keselamatan seperti keperluan pengesahan transaksi pelanggan dan juga memberi notifikasi transaksi kepada pelanggan serta melaksanakan apa yang kita panggil “usaha wajar pelanggan” (customer due diligence) semasa pembukaan akaun bank serta “usaha wajar pelanggan secara berterusan” (on-going due diligence) bagi akaun-akaun bank yang sedia ada.
Setelah melaksanakan langkah-langkah di atas dan melakukan penilaian tahap risiko yang sewajarnya, institusi-institusi kewangan juga boleh mengambil keputusan untuk meneruskan transaksi ataupun urusan perniagaan dengan pemegang akaun tersebut, atau berdasarkan faktor-faktor tertentu, memutuskan untuk tidak meneruskan transaksi atau menutup akaun pelanggan.
Sekiranya terdapat individu-individu yang menghadapi masalah berhubung dengan penutupan akaun bank, mereka juga dinasihatkan untuk membuat rayuan kepada unit aduan bank masing-masing untuk membuka semula akaun bank. Sekiranya mereka ini masih tidak mendapat maklum balas yang memuaskan, pengadu bolehlah menghubungi BNM TELELINK di talian 1-300-88- 5465 atau melalui borang Web: bnm.my/LINK.
Sementara itu, pelbagai langkah juga telah diambil dalam usaha membendung dan mencegah masalah akaun keldai seperti memberi pesanan kepada orang ramai. Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan serta agensi penguatkuasaan sentiasa menasihati dan mengingatkan kepada semua orang ramai agar mengambil tindakan-tindakan berikut bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa akaun keldai:
(i) jangan dedahkan maklumat bank dan maklumat peribadi kepada orang lain;
(ii) jangan terima tawaran untuk bantu pindahkan wang ke akaun tertentu; dan
(iii) jangan sesekali menyerahkan kad ATM, nombor PIN dan akses perbankan internet kepada pihak lain.
Orang ramai turut dinasihatkan untuk membuat semakan melalui tiga saluran yang disediakan oleh PDRM sebagai langkah berjaga-jaga daripada menjadi mangsa akaun keldai seperti yang berikut:
(i) Portal Semak Mule oleh PDRM
(https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/), ini membolehkan orang ramai membuat semakan akaun bank bagi mengetahui sama ada terdapat laporan polis dibuat ke atas akaun tersebut;
(ii) Pusat aduan CCID Scam Response Center (03-26101559 atau 03-26101599), pusat sehenti bagi menerima sebarang aduan dan pertanyaan berhubung kes jenayah penipuan dalam talian termasuklah yang melibatkan akaun keldai; dan
(iii) CCID Infoline (013-2111222) (melalui pesanan WhatsApp) menerima semua pertanyaan kes jenayah komersial.
Seterusnya ialah Inisiatif Kesedaran Pengguna Kewangan. Pelbagai saluran telah digunakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa akaun keldai dan mengetahui kesan- kesan yang bakal dihadapi sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan akaun mereka antaranya ialah melalui:
(i) media massa iaitu saluran televisyen, saluran radio;
(ii) media sosial rasmi Bank Negara Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube
(iii) Laman Facebook “Amaran Scam” untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai taktik penipuan dan tips melindungi diri daripada menjadi mangsa
(https://www.facebook.com/amaranpenipuan/); dan
(iv) ceramah-ceramah kesedaran kepada kumpulan sasaran seperti pelajar-pelajar di universiti.
Kerjasama antara BNM, institusi-institusi kewangan, agensi penguat kuasa dan agensi-agensi berkepentingan BNM dan institusi kewangan telah mengadakan pelbagai kerjasama dengan agensi penguat kuasa secara berterusan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), selaku agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menjalankan siasatan ke atas kes melibatkan aktiviti penipuan sindiket akaun keldai dan penipuan secara dalam talian.
Ini termasuk perkongsian maklumat mengenai taktik terkini kes-kes penipuan dalam talian dan akaun keldai secara berkala oleh PDRM bersama- sama pegawai pematuhan institusi-institusi kewangan, melaksanakan program kesedaran pengguna secara umum dan bersasar serta perkongsian maklumat risikan kewangan bagi membantu tindakan penguatkuasaan PDRM.
BNM juga telah menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan, persatuan pengguna, badan bukan kerajaan serta persatuan perniagaan dan perindustrian dalam menyampaikan maklumat kesedaran secara terus kepada pengguna kewangan. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Kamar Khas — Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) — Projek Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak BukitSpecial Chamber
Tuan Yang di Pertua, Yang Berhormat Menteri Alam Sekitar dan Air, saya ingin menarik perhatian pihak kementerian atas masalah banjir yang sering berlaku di sekitar Alor Setar dan seluruh Kedah.
Untuk makluman Menteri, awal bulan November, Kedah dilanda banjir yang melibatkan beberapa buah daerah termasuk Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Kubang Pasu dan Baling. Ramai penduduk terpaksa pindah ke Pusat Pemindahan Sementara PPS. Banjir bukan perkara baharu di Kedah, akan tetapi, beberapa projek tebatan banjir masih belum selesai dan tertunda sehingga masalah banjir tidak nampak kesudahan. Minta menteri senaraikan projek-projek tebatan banjir yang telah dan sedang dijalankan di seluruh Kedah, dengan
maklumat terperinci berkenaan kos dan perkembangan fasa bagi setiap RTB masing-masing.
Sila jelaskan apakah punca berlakunya banjir pada awal bulan November yang lalu? Mengapakah projek tebatan banjir sebelum ini gagal untuk mengelakkan berlakunya banjir? Menurut rekod pihak kementerian, berapakah paras air pasang dan kadar isi padu hujan yang boleh menyebabkan banjir berlaku pada suatu masa tertentu. Sekiranya projek tebatan banjir selesai dilaksanakan, sejauh mana banjir dapat dielakkan dalam keadaan paras air pasang dan isi padu hujan sama dan keadaan yang meningkat disebabkan perubahan iklim pada masa hadapan.
Minta kementerian menyatakan masalah yang memperlambat projek tebatan serta apa langkah-langkah penyelesaian yang telah dan akan diambil untuk mempercepatkan projek tebatan banjir serta langkah penyelesaian selain daripada projek tebatan banjir. Sekian, terima kasih.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang Di-Pertua, mohon izin buka pelitup muka. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat Alor Setar, secara umumnya, banjir yang berlaku di Kedah pada awal November 2021 adalah disebabkan oleh taburan hujan yang tinggi dalam tempoh waktu yang singkat yang menyebabkan kenaikan aras sungai di kesemua sub lembangan Sungai Kedah seperti di Sungai Temin, Sungai Bata, Sungai Padang Terap dan Sungai Pendang.
Berdasarkan data jadual air pasang surut yang dikeluarkan oleh Pusat Hidrografi Nasional (PHN), pada awal November telah berlaku air pasang tinggi yang menyebabkan air dari semua sub lembangan ini tidak dapat di alir keluar dengan cepat. Ketika itu juga hujan masih berlaku dan secara tidak langsung telah menambah kapasiti sungai sedia ada. Keadaan sungai juga masih tinggi pada waktu tersebut dan apabila air pasang kebanyakan kawasan di bandar raya Alor Setar dinaiki air pada petang dan sebelah awal pagi.
Kebiasaannya banjir di lembangan Sungai Kedah berlaku disebabkan faktor-faktor tersebut, di mana berlaku hujan berpanjangan dan berterusan dalam tempoh beberapa hari dan bertembung dengan fenomena air pasang surut yang telah menyebabkan limpahan air sungai apabila hujan terutamanya di kawasan penempatan yang rendah dan mempunyai sistem perparitan yang tidak sempurna.
Kesemua aliran dari sub lembangan sungai ini akan memasuki Sungai Kedah dan aliran di Sungai Kedah pula akan dikeluarkan ke laut melalui struktur kawalan pasang surut Ampang Jajar MADA. Untuk makluman Yang Berhormat juga, negeri Kedah secara keseluruhannya merekodkan tujuh belas kejadian banjir daripada 1 November 2021 hingga 21 November 2021 seperti berikut:
|Bil.| Daerah |Bilangan Kejadian Banjir| |---:|-----------|-----------------------:| | 1|Kubang Pasu| 5|| 2|Kuala Muda | 4|
| 3. | Baling | 3 | |------|----------|--:| | 4|Kota Setar| 2| | 5|Kulim | 2| | 6|Langkawi | 1| |Jumlah| | 17|
Mengikut rekod JPS juga selama lebih 1.5 tahun iaitu dari Julai 2020 sehingga November 2021, sebanyak 35 kejadian banjir ketika fenomena air pasang telah berlaku di daerah Langkawi dan Kuala Muda. Kedudukan geografi kedua-dua daerah ini menyebabkan beberapa buah kawasan yang rendah akan terkesan secara langsung apabila berlaku fenomena air pasang besar.
Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan telah menyiapkan empat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Negeri Kedah merangkumi 12 kontrak kerja fizikal iaitu:
(i) Projek RTB Sungai Muda (5 kontrak kerja);
(ii) Projek RTB Sungai Kedah Anak Bukit (2 kontrak kerja);
(iii) Projek RTB Changloon (1 kontrak kerja); dan
(iv) Projek RTB Sungai Kerian (4 kontrak kerja).
Sesuatu projek RTB ini dapat memberi manfaat dan impak yang sangat besar kepada rakyat biarpun ia mengambil masa untuk disiapkan. Sebagai contoh, RTB Sungai Muda yang telah bermula pada tahun 2006 dan disempurnakan pada tahun 2016 telah banyak membantu mengurangkan kerosakan dan kerugian akibat banjir dalam tempoh masa lebih daripada 15 tahun dengan kala ulangan reka bentuk mencapai sehingga 100 tahun ARI.
Kos keseluruhan projek mencecah RM1.362 bilion yang telah memberi manfaat kepada 20,000 orang penduduk. Projek-projek RTB ini di reka bentuk dan disiapkan berdasarkan maklumat dan unjuran yang ada sewaktu projek tersebut dalam fasa reka bentuk dan seterusnya fasa pembinaan. Buat masa ini terdapat beberapa dua (2) projek RTB yang masih dalam pembinaan, seperti berikut:
(i) Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pendang; dan
(ii) Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah Anak Bukit.
Sebagaimana RTB Sungai Muda, projek RTB Sungai Pendang dan Sungai Kedah ini akan mengambil masa anggaran 15 Tahun (RTB SKAB) dan anggaran 11 tahun (RTB Sungai Pendang) untuk disiapkan dengan kala ulangan reka bentuk sehingga 50 tahun ARI yang akan membawa manfaat kepada 30,000 orang penduduk dan pengurangan kawasan banjir terhadap kawasan penanaman padi sebanyak 60 kilometer persegi bagi projek SKAB.
Manakala RTB Sungai Pendang memberi manfaat kepada 50,000 orang penduduk dan pengurangan kawasan banjir pada penanaman padi sebanyak 3,000 hektar. Seperti yang kita semua sedia maklum, perubahan iklim dunia telah mengubah pola hujan yang turun di mana kekerapan hujan yang turun dengan lebat dalam tempoh waktu yang singkat telah meningkat.
Oleh itu, kejadian banjir yang berlaku bukan sahaja bergantung kepada faktor hujan lebat dan air pasang yang boleh diukur secara saintifik, tetapi faktor- faktor lain yang tidak boleh diukur secara langsung adalah seperti berikut:
(i) pembangunan di kawasan dataran banjir ataupun kawasan rendah sepanjang sungai yang ditambak menyebabkan kehilangan kawasan takungan ketika air sungai melimpah sewaktu hujan lebat ataupun air pasang;
(ii) pembukaan tanah iaitu aktiviti kerja tanah sama ada untuk pembangunan kediaman, perniagaan, perlombongan, pertanian, ladang solar, ladang hutan, jalan raya dan lain- lain pembukaan tanah menyebabkan kawasan tanah yang terdedah mengalami hakisan yang teruk sewaktu hujan lebat. Tanah yang terhakis ini akan diangkut oleh air hujan dan masuk ke sistem saliran dan seterusnya ke sungai- sungai menjadi sedimen dan kelodak mengakibatkan sungai menjadi cetek dan kapasiti sungai berkurang seterusnya menyebabkan berlakunya banjir; dan
(iii) halangan dalam sistem saliran seperti sampah-sampah dan daun-daun kering yang dibuang merata-rata yang akan hanyut dibawa oleh air larian permukaan ketika hujan lebat dan akhirnya tersangkut di dalam parit atau sistem saliran menyebabkan aliran air terhalang dan berlaku banjir.
Berdasarkan kedudukan geografi Malaysia yang dikelilingi oleh laut dan menerima hujan lebat sepanjang tahun, maka kejadian banjir ini tidak dapat dielakkan terutamanya melibatkan kawasan penempatan rendah dan juga dataran banjir.
Bagaimanapun, projek-projek RTB oleh kerajaan dan peranan pemilik tanah dalam projek pembangunan yang mematuhi keperluan JPS dengan menyediakan takungan gantian (compensatory storage) boleh mengurangkan impak banjir dan kerugian akibat banjir. Kejadian banjir dan juga langkah-langkah fizikal dan bukan fizikal ini akan berlaku secara berterusan dan dinamik sekiranya faktor-faktor lain yang mempengaruhi kejadian banjir tidak ditangani secara bersama.
Kaedah Yang Berhormat ajukan, iaitu adakah keadaan banjir yang akan datang, boleh dijangka daripada data lampau meliputi data hujan dan data aras air pasang juga adalah sebahagian daripada cara rule of thumb atau berdasarkan pemerhatian dan pengalaman warga kerja barisan hadapan JPS di peringkat daerah. Namun begitu, ia adalah jangkaan yang kasar dan tidak berdasarkan metodologi yang saintifik dan tidak menjamin hasil jangkaan yang tepat. Lebih- lebih lagi jika kombinasi dua jenis data rainfall depth dan paras air pasang ini tidak menunjukkan trend dan kolerasi yang konsisten.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi perhatian secara khusus mengenai isu pembersihan dan mengoptimumkan kapasiti saluran sungai seperti pendekatan mitigasi jangka masa pendek melalui Program Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir Pelbagai Negeri. Skop kerja yang terlibat di bawah program ini adalah kerja pengorekan sungai, muara sungai, pembinaan struktur hakisan tebing sungai,
membuang kelodak, sampah, sisa pepejal, menaik taraf dan menyelenggarakan aset struktur kawalan banjir yang bertujuan mengurangkan risiko banjir.
Di bawah program ini, KASA membantu Kerajaan Negeri Kedah dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.8 juta bagi mengurangkan risiko banjir di Negeri Kedah. Manakala di bawah butiran projek berskala kecil di bawah Inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) – Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir, sebanyak RM3.1 juta juga telah diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri Kedah.
Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengambil inisiatif untuk membantu Kerajaan Negeri Kedah dan Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.4juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan 111 unit kolam takungan banjir di Negeri Kedah. Kementerian melalui JPS juga telah meluluskan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam
(PISMA) Alor Setar Utara, Bandar Darul Aman dan Pekan Kuah, Kedah dengan kos sebanyak RM7.5 juta.
Kajian tersebut dalam proses perolehan data Light Detection and Ranging
(LiDAR) dan dijangka di iklan pada Julai 2022. Kajian PISMA ini dilaksanakan bagi mengenal pasti punca-punca kejadian banjir kilat yang berlaku dan sebagai rujukan dalam merancang infrastruktur saliran serta mengenal pasti langkah- langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang secara komprehensif bagi menangani kejadian banjir kilat. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang, Selasa, 30 November 2021. Terima kasih, Ahli-ahli Yang Berhormat.
[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 2.54 petang]