Johor · 15 August 2018

1st session, 2nd meeting · 204 turns · 17,981 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker

Speaker

Bismillahirrahmaanirrahim. Asssalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, alhamdulillah kita telah sampai ke peringkat ini ya, Persidangan kita. Sebagai pemimpin tentulah kita ada idola-idola rujukan kita sebagai seorang pemimpin ya, sebagai suri tauladan dalam kehidupan kita. Saya sendiri suka membaca berkenaan dengan kisah pemimpin yang adil, Umar Abdul Aziz, umpamanya. Dalam kajian ini, saya melihat antara kekuatan yang ada pada Umar Abdul Aziz adalah, dalam tempoh dua tahun setengah sahaja pemerintahannya, ia telah dikenali dan diingati sampai ke hari ini kerana keadilan yang ada padanya. Bila kita melihat bagaimana cara yang dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz adalah dengan memulakan dirinya untuk perubahan ini. Bermakna, segala perubahan yang berlaku, yang dilaksanakan bermula daripada diri Umar Abdul Aziz itu sendiri, mendidik dirinya, anak-anaknya dan keluarganya untuk menerima perubahan baru dalam kepimpinan pada waktu itu.

Saya masih teringat bagaimana Umar Abdul Aziz mendidik isteri dia. Isteri dia ni adalah seorang yang sangat elit, atuknya khalifah, bapanya khalifah, abangnya khalifah, suaminya khalifah. Maknanya dia seorang yang sangat elit tetapi Umar Abdul Aziz kata segala apa kemewahan yang diperolehi sebelum ini kembalikanlah kepada baitulmal. Segala apa kemewahan yang diperolehi kembalikan kepada baitulmal, kembali kepada rakyat balik. Dia bukan menyuruh isterinya, malah menyuruh dirinya dan anak-anaknya untuk sama-sama menyumbang kepada negara pada waktu itu. Itulah sebab saya kira bahawa keadilan ini yang ada pada Umar Abdul Aziz ini, mendapat keberkatan dan akhirnya dapat memajukan negeri dalam tempoh dua tahun setengah, tak sampai pun satu penggal.

Itu sedikit pada pagi ini, dan insya-Allah, selepas ini kita akan teruskan dengan soalan lisan. Saya kira semalam kita telah dapat laksanakan sehingga pukul 11.00 pagi, insya-Allah kita akan juga pada hari ini sampai ke 11.00 pagi.

Soalan LisanQuestions

Speaker

Terus saya persilakan Yang Berhormat Sri Medan.

Yang Berhormat Speaker, soalan lisan saya nombor 1.

Sukarelawan Darul Ta’zim cukup sinonim dengan belia-belia di Negeri Johor sepanjang 5 tahun yang lalu. Adakah kerajaan Pakatan Harapan mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk meneruskan aktiviti kesukarelaan di kalangan anak-anak muda di negeri Johor?

Speaker

Sila Yang Berhormat EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam harapan. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Seri Medan dan teman-teman Yang Berhormat. Melihat kepentingan peranan Sukarelawan Darul Ta’zim sebagai platform kesukarelaan di negeri Johor dan kebolehupayaan membangunkan nilai murni belia dengan konsep kesukarelaan sebagai budaya, kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini akan terus berusaha untuk membantu mewujudkan kesedaran di kalangan belia. Program-program kesukarelaan yang melibatkan pembangunan nilai murni belia dan memberi manfaat kepada masyarakat, akan diteruskan dengan penambahbaikan agar ianya lebih memberi kesan kepada belia hingga peringkat akar umbi dengan penglibatan pelbagai lapisan bagi golongan belia ke arah

melestarikan budaya dan gaya hidup bersatu padu dan saling melengkapi di antara satu sama lain seperti prihatin dengan masyarakat sekeliling.

Peruntukan untuk memperkasa belia melalui kesukarelaan perlu ditambah dan aktiviti di bawahnya akan diperkasakan dengan konsep kesukarelaan sebagai budaya di negeri Johor. Sukarelawan juga akan di naik taraf peranannya serta akan menjadi salah satu elemen penting dalam pembangunan hab belia yang akan dibangunkan pada masa yang akan datang. Terima kasih.

Speaker

Seri Medan, silakan.

Yang Berhormat Speaker, saya rasa kali pertama ini saya tak akan ada soalan tambahan cuma saya nak maklumkan kepada Yang Berhormat EXCO Belia dan Sukan, saya beri sepenuh kepercayaanlah dan keyakinan kepada EXCO Belia dan Sukan untuk menggerakkan Sukarelawan Darul Ta’zim mengikut acuan Yang Berhormat EXCO dan kerajaan negeri kerana kita lihat program-program untuk Sukarelawan Darul Ta’zim ni dia terlalu subjektif. Ibaratnya kalau kita mengadakan program sukarelawan ni, ibarat kata seperti Yang Berhormat sendirilah…

Speaker

Soalannya, apa? Soalannya.

Belum lagi. Dia kena panaskan dulu Yang Berhormat Speaker. Seperti Yang Berhormat EXCO Belia dan Sukan menjawab secara sukarela, itu pun dikirakan sukarelawan juga. Jadi, saya menganggap bahawa kepentingan belia mesti jadi keutamaan. Jadi, saya amat mengharapkan bahawa dengan adanya program-program mungkin penambahbaikan dan sebagainya, insya-Allah Sukarelawan Darul Ta’zim, saya ingat ramai, lebih saya kalau dijangka sekarang berdaftar, secara berdaftar hampir 20,000 orang. Dan tak mustahillah untuk Yang Berhormat EXCO Belia dan Sukan dengan kerajaan negeri. Yang penting, mereka diberi suntikan semangat, suntikan peruntukan, insya-Allah mereka akan dapat menggerakkan Sukarelawan Darul Ta’zim, insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Soalan tambahan tak ada? Terima kasih Yang Berhormat Speaker.(Dewan ketawa).

Speaker

Ok Tenggaroh.

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Saya sendiri kagum dengan apa kerajaan terdahulu yang telah lakukan untuk Sukarelawan Darul Ta’zim yang melibatkan semua kaum, seperti YB Sri Medan cakap ada 20,000 belia yang terlibat. Soalan saya ialah adakah kerajaan memikirkan untuk mengiktiraf mereka yang terbaik melalui anugerah ke atau mengadakan jambori, itu sahaja soalan saya.

Speaker

Silakan YB EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Yang Berhormat Sri Medan dan juga Yang Berhormat Tenggaroh. Terima kasih kepada Yang Berhormat mantan EXCO dan juga Yang Berhormat Tenggaroh. Mengenai program, anugerah untuk belia, insya-Allah kita akan adakan pada tahun ni di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.

Untuk penambahbaikan, saya tahu semasa zaman Yang Berhormat Sri Medan, dia banyak turun buat program-program menggantikan zink, betul Yang Berhormat ya? Kali ni program Johor Future untuk tahun depan dan tahun-tahun mendatang, kita lebih fokus kepada kesihatan sebab saya dimaklumkan dahulu bajetnya kecil, bila tukar zink, lantai rumah runtuh, jadi kalau kita setakat RM1,000.00, RM2,000.00 atau RM3,000.00 itu tak mencukupi untuk kita mengganti zink dan juga lantai. Jadi, apa yang saya telah bincangkan dengan Pusat Pengembangan Belia ataupun (JOYDEC), kita akan fokus kepada kesihatan iaitu membina bilik air atau membina tandas di kawasan-kawasan dan di ruman-rumah yang memerlukan perkhidmatan ini, ya.

Untuk makluman semua, tadi YB Seri Medan ada maklumkan bahawa keanggotaan untuk sukarelawan Negeri Johor ini ada seramai 20,000 orang. Jadi, saya bagi pecahan ini untuk makluman semua, kerana apa? Kerana majoriti kita ada lebih kurang 4,950 orang dari kalangan pelajar-pelajar di IPTA dan IPTS kerana golongan ini dalam masa dua tahun mereka akan keluar daripada universiti dan mereka akan pulang ke negeri-negeri masing-masing. Jadi, kita akan kurang lebih kurang 4,000 sukarelawan. Untuk sekolah menengah ada seramai 3,700 orang, untuk persatuan atau kelab, 6,650 orang, dan belia umum ada 5,200 orang. Jumlahnya 19,000 orang. Untuk makluman semua dan juga Yang Berhormat Sri Medan, pada saya angka itu tidak penting sangat, yang penting adalah impak program ataupun kegiatan yang kita lakukan itu memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya terutama Bangsa Johor. Terima kasih.

Speaker

Sri Medan ya. Tak ditanya pun jawab. Itulah kebaikan Pakatan Harapan ni.

Yang Berhormat Speaker, tapi tak tahulah jawapan, soalannya apa tadi.

Speaker

Ha, soalan tadi belum jawab ya?

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Saya dah jawab tadi. Untuk jawapan Tenggaroh tadi. Kalau saya ingat apa yang ditanya oleh Yang Berhormat Tenggaroh tadi mengenai anugerah tadi tu Belia Sukan boleh rujuklah takwim yang lama. Memang dah ada, dah ada.

Speaker

Ok. Inilah mesranya orang muda ya. Ok, Bukit Naning, silakan.

Tuan Md. Ysharudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Terima kasih Tuan Yang Berhormat Speaker. Sukarelawan dalam kalangan belia perlu dilihat sebagai nilai yang tinggi. Justeru, zaman yang serba mencabar ini menuntut lebih ramai sukarelawan dalam belia bagi membendung sosial yang semakin berleluasa. Namun jika sukarelawan belia dipengaruhi oleh persekitaran politik untuk melakukan tugas-tugas kepartian, ia sukar mencapai matlamatnya. Jadi, soalan saya Tuan Speaker, adakah Sukarelawan JDT ini dipengaruhi oleh parti-parti politik, membuat kerja-kerja kepartian dalam kerajaan yang lepas? Terima kasih.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Bukit Naning, bukan Sukarelawan JDT, dia Sukarelawan Darul Ta’zim (SDT). Berkenaan dengan isu berkenaan menggunakan Sukarelawan Darul Ta’zim untuk program, aktiviti-aktiviti kepartian, saya tak nak jawab soalan itu kerana itu yang lepas, biar yang lepas. Jadi, sekarang ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan kita fokuskan apa yang kita buat ini mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan Bangsa Johor itu sahaja. Yang dulu biarlah kita sebagai sejarah yang baru ini, kita sekadar Pakatan Harapan, kita lakukan yang terbaiklah untuk rakyat Johor. Sekian.

Speaker

Ok, soalan yang seterusnya. YB Senggarang, silakan.

BY Tuan Ir. Haji Khairuddin bin A. Rahim (Senggarang) : Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 2.

Aktiviti pukat tunda telah menjejaskan teruk pendapatan nelayan tradisional. Aduan mereka tidak diendahkan. Penguatkuasaan pukat tunda sepatutnya diperketatkan oleh APMM di Selat Melaka. Perincikan jumlah lesen pusat tunda di perairan Pontian hingga Muar. Apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah ini?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Bismilahirrahmaanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam harapan dan selamat pagi. (Bacaan selawat). Alhamdulillah setelah empat hari, hari ini saya, insya-Allah menjawab soalan YB-YB semua, ok.

Soalan yang ditanya tadi tentang pukat tunda. So, sebetulnya YB-YB tuan-tuan dan puan-puan faham tak apa pukat tunda. Pukat tunda ialah satu pukat yang ditarik oleh dua bot, di mana mata pukat kurang daripada 38 milimeter. Di sini menunjukkan bahawa pukat tunda adalah merupakan satu pukat yang dapat merosakkan ataupun dia mengambil semua sumber laut daripada anak ikan, mak ikan sampai nenek ikan, cucu-cucu ikan semua dia ambil. Jadi, memang sangat diakui bahawa pukat tunda boleh mendatangkan akibat yang tidak baik kepada sistem perairan kita. So, kawasan pukat tunda di Johor terutamanya di kawasan pantai barat merupakan satu kawasan yang kecillah kerana terletak, pantai barat terletak di sebelah. Makna kita berada, kita berkongsi laut dengan nelayan Indonesia. Jadi menyebabkan pengusaha pukat tunda sering menceroboh kawasan tangkapan nelayan tradisional untuk mendapatkan hasil yang lumayan dengan menceroboh kawasan kurang daripada lima batu nautika daripada pantai. Sebetulnya untuk pukat tunda, mereka hendaklah menangkap ikan di kawasan yang lebih jauh iaitu di kawasan zon. Kawasan yang lebih daripada 5 batu nautika.

Untuk lesen pukat tunda yang telah dikeluarkan untuk daerah Pontian, kita mengeluarkan 87 lesen. Untuk daerah Batu Pahat kita mengeluarkan 49 lesen dan di Muar kita tidak mengeluarkan lesen pun untuk pukat tunda. Rentetan permasalahan pukat tunda yang dihadapi di seluruh negara Malaysia, jabatan telah mengeluarkan pekeliling Dasar Perikanan iaitu pada 28 Disember 2015, Pekeliling Perlesenan Bil. 4/2015 Pelaksanaan Dasar Penghapusan Pukat Tunda yang beroperasi di Zon B bermula 1 Januari 2016 secara berperingkat melalui kaedah kawalan. Kaedah kawalan yang dimaksudkan adalah bagi kesalahan menunda di bawah 5 batu nautika, lesen akan digantung selama 1 tahun. 5 batu nautika ialah kawasan Zon B, di mana biasanya kita lebih, kawasan-kawasan untuk nelayan tradisional. Permohonan ganti kulit adalah digalakkan untuk menukar Zon B kepada Zon C. Di mana kawasan operasi tangkapan di pantai timur adalah lebih 12 batu nautika. Kemudian sebarang pindah milik lesen dan vessel adalah dilarang sama sekali. Sekian, terima kasih.

Speaker

Senggarang, silakan.

Tuan Ir. Khairuddin bin A.RahimAMANAH · PHSenggarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita tahu pukat tunda ini dia mengurangkan, kalau dia masuk zon pantai, tempat nelayan pantai akan mengganggu pendapatan tangkapan nelayan-nelayan pantai. Jadi, sekarang ini didapati pukat tunda banyak mengganggu masuk menerobos ke kawasan-kawasan pantai. Soalan saya, sememangnya perkara ini kerap berlaku dan memerlukan suatu integriti yang tinggi antara APMM dan juga penguatkuasa-penguatkuasa dan Perikanan untuk menghalang pukat tunda daripada masuk kawasan larangan. Jadi soalan saya apakah, berapa ramaikah pengusaha pukat tunda dengan bot-botnya sekali yang telah ditangkap sepanjang tahun lepas dan apakah hukuman yang diberi setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh pengusaha pukat tunda ini. Sekian.

Speaker

Sila, YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Untuk pengetahuan Yang Berhormat, data yang kita pungut daripada jabatan PDRM dan APMM adalah, pada tahun 2017, data daripada PDRM, kita telah menangkap sebanyak 5 kapal dan data daripada APMM 2018, data yang dah kita tangkap adalah 3 kapal. So, total dari tahun lepas dan hingga ke hari ini, data daripada PDRM dan APMM kita telah menangkap 8 buah kapal. Berapa ramai yang ditangkap, tiada data yang kami dapat di sini namun kami akan menggantung lesen selama satu tahun bagi kesalahan menceroboh kawasan yang kurang daripada 5 batu nautika. Kemudian permohonan tukar vesel pada pukat tunda hendaklah disyaratkan melebihi 400 grt dan kawasan operasi hendaklah di dalam zon C dan ke atas. Kemudian kelulusan penghapusan pukat tunda secara berperingkat merupakan kelulusan

khas dan sebarang pindah milik adalah tidak dibenarkan sama sekali. Tempoh pembatalan semua lesen vesel pukat tunda zon B adalah selama 5 tahun iaitu sehingga tahun 2020. Selepas daripada tarikh tersebut, semua aktiviti pukat tunda adalah diharamkan juga. Sekian terima kasih.

Speaker

Pulai Sebatang.

Tuan Muhammad Taqiuddin bin ChemanAMANAH · PHPulai Sebatang

Terima kasih diucapkan kepada tuan Speaker, untuk makluman tuan Speaker, saya ingin bertanyakan kepada EXCO juga berkenaan dengan pukat tunda kerana di Pontian ini antara terbanyak lesen pukat tunda. Kalau kita lihat pukat tunda ini dia memang benar-benar merosakkan dasar laut, kegiatan pukat tunda ini merosakkan dasar laut dan dia benar-benar mengganggu bot-bot kecil dan nelayan-nelayan di pantai. Jadi saya nak tanya satu soalan, sebab kalau kita lihat dia punya akta hukumannya sekadar gantung lesen setahun. Boleh tak kalau kita tukar akta ini dengan memberi satu akta yang lebih berat iaitu kita sita bot-bot pukat tunda ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Terima kasih. Untuk sebetulnya, untuk kita meminda sesuatu akta kita hendaklah melibatkan banyak agensi yang terkait dan kita hendaklah membawa ke sidang Parlimen. Jadi, jika sesuatu akta hendak dipinda, saya rasa tiada masalah, Cuma adakah kita semua Ahli-ahli Parlimen atau pun ADUN bersetuju untuk akta itu dipinda. Akta ini adalah, akta yang diluluskan oleh peringkat Persekutuan. Apa pun akta yang diluluskan kami di peringkat negeri ini mematuhinyalah. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput Semarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya. Sebenarnya berapa banyakkan agensi penguatkuasa yang berwawenang terhadap kerja-kerja penangkapan ini. Tadi dimaklumkan PDRM, PDRMkan, jadi saya pun nak tahu sama ada PDRM ini yang menangkap.

Speaker

Sila, YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Hasil daripada data yang saya ada, hanya dua agensi sahaja yang telah berjaya menangkap kapal-kapal yang melakukan kesalahan iaitu PDRM dan APMM. Jadi untuk sementara, pada pandangan saya hanya PDRM dan APMM sahaja yang melakukan tindakan penangkapan, penguatkuasaan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Buluh Kasap.

Dato' Zahari Bin SaripUMNO · BNBuloh Kasap

Yang Berhormat Tuan Speaker, Soalan saya no. 3. Minta dinyatakan apakah sasaran dan harapan kerajaan terhadap kemajuan serta pembangunan koperasi di negeri Johor dalam tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Bismillahiwalhamdulillah. Assalamualaikum warhamatullahi wabarakatuh, Yang Berhormat Speaker, bagi sasaran dan harapan kerajaan terhadap kemajuan serta pembangunan koperasi di negeri Johor untuk tempoh jangka pendek, kerajaan negeri Johor melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Cawangan Negeri Johor

telah merangka dan sedang melaksanakan beberapa program bagi tempoh jangka pendek. Antaranya ialah pembangunan perniagaan yang melibatkan beberapa sub program yang dilaksanakan antaranya ialah:

1. Program Mentoring And Couching.

2. Program My Farm Outlet.

3. Program Kedai Harga Patut.

4. Program Desa Lestari.

Selain itu Yang Berhormat Speaker, kita juga ada mengadakan program pembudayaan koperasi yang merupakan program yang bersifat promosi di bawah program ini melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Johor. Kita telah mengatur pelbagai program berbentuk bengkel, kursus dan seminar untuk menarik minat dan kefahaman masyarakat dalam negeri Johor berkaitan manfaat dalam berkoperasi. Selain kefahaman berkaitan peranan koperasi yang boleh digunakan dalam semua sektor sosioekonomi sebagai instrumen pembangunan masyarakat. Selain itu untuk program dan sasaran negeri bagi tempoh jangka pendek, kita juga ada melaksanakan bantuan pembangunan yang disediakan untuk membantu koperasi menggembleng atau mengembangkan serta memantapkan perniagaannya dalam bidang ekonomi berdaya maju. Geran bantuan yang diberi adalah untuk menampung sebahagian kos projek yang dengan amaun geran maksimum sebanyak RM300,000.00 bagi sesebuah koperasi yang memohon. Prestasi pemberian geran pembangunan kepada koperasi di negeri Johor, sentiasa meningkat setiap tahun dan jumlah bilangan koperasi penerima bantuan ini sehingga tahun 2017 adalah jika lihat daripada tahun 2015 hingga 2017 berjumlah 43 koperasi penerima dengan jumlah Ringgit Malaysia mencapai RM1.9 juta.

Kemudian kita juga untuk jangka masa pendek ada melaksanakan pembiayaan tabung modal pusingan. Tabung modal pusingan merupakan suatu sumber pembiayaan yang berbentuk pinjaman yang disediakan kepada koperasi untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor ekonomi yang berdaya maju. Dan saya terus kepada untuk jangka masa panjang. Sasaran dan harapan kerajaan terhadap kemajuan serta pembangunan koperasi di negeri Johor untuk jangka masa panjang, kita meletakkan dua pelan yang besar yang utama iaitu yang pertama, pelan hala tuju pembangunan koperasi mengikut sektor. Yang, pelan ini merupakan suatu kerangka hala tuju yang dilaksanakan di seluruh Malaysia melalui perancangan di peringkat Suruhanjaya Koperasi Malaysia, ibu pejabat Kuala Lumpur dan pelaksanaan di peringkat Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Cawangan negeri juga.

1. Pelan hala tuju ini meliputi enam sektor, enam sektor utama dalam menggerakkan

koperasi iaitu :

i. Sektor perkhidmatan kewangan.

ii. Sektor pemborongan dan peruncitan.

iii. Sektor hartanah dan industri pembinaan.

iv. Sektor pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan.

v. Sektor pertanian dan industri asas tani.

vi. Sektor perladangan.

2. Pelan Strategik Pembangunan Koperasi Negeri Johor 2017 sehingga 2021, pelan ini

memberi penekanan untuk memperkasakan gerakan koperasi melalui pelbagai program yang dihuraikan yang mensasarkan peningkatan perolehan kepada RM1.33 biilion menjelang tahun 2021 berbanding pencapaian semasa sebanyak RM887.36 juta sahaja. Terima kasih.

Speaker

Ya Buluh Kasap.

Dato' Zahari Bin SaripUMNO · BNBuloh Kasap

Terima kasih kepada EXCO yang memberikan jawapan yang jelas, detail. Cuma Yang Berhormat Tuan Speaker, kebanyakan suntikan modal, dan suntikan yang diberikan kepada koperasi ini adalah di peringkat awalan penubuhan koperasi. Maksud saya ialah, selepas mereka menggunakan suntikan modal tersebut, ada koperasi-koperasi yang dilihat tidak berupaya menggerakkan koperasi mereka sehinggakan ada di kalangan koperasi yang boleh diumpamakan seperti hidup segan, mati tak mahu. Tetapi kita melihat bagaimana keperluan atau pun harapan ahli koperasi ini sendiri untuk menggerakkan koperasi kerana ia salah satu daripada agen untuk membantu mereka dalam konsep berniaga misalnya. Jadi soalan saya tuan Speaker, apakah agaknya tindakan pihak kerajaan ataupun suntikan-suntikan difikirkan yang boleh membantu koperasi ini jika mereka dilihat sudah tidak bermaya selepas daripada mendapat suntikan modal awal?. Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Terima kasih Buluh Kasap atas soalan tambahan. Yang Berhormat Speaker, sebenarnya di peringkat portfolio saya iaitu melibatkan keusahawanan dan juga koperasi, pada kali ini saya amat menitik beratkan soal apakah selepas insentif? Ini bermaksud selepas kita memberi insentif, apakah yang akan kita, langkah-langkah yang akan kita ambil untuk memastikan selepas daripada itu sesuatu koperasi atau dalam konteks usahawan, seseorang usahawan dia boleh meneruskan bisnes ataupun perniagaannya sehingga berjaya.

Jadi untuk menjawab soalan Buluh Kasap tadi, sebenarnya beberapa program yang telah digariskan atau yang telah saya nyatakan tadi, juga memberi gambaran bahawa kita tidak terhenti sekadar memberi insentif sahaja. Tetapi kita juga mengambil berat soal apakah selepas daripada insentif diberikan? Contohnya, untuk program pembangunan perniagaan bagi jangka masa pendek, apabila kita buat Program Mentoring Dan Coaching. Sebenarnya program ini adalah satu program di mana kita ingin memastikan satu koperasi yang telah kukuh ataupun telah establish dengan izin, bagaimana dia boleh memimpin, memandu koperasi-koperasi kecil yang ingin menjadi mentee dia. Jadi, sebab itu kita namakan mentoring and coaching. Sehinggalah bimbingan satu koperasi yang telah establish dengan izin, dia mampu membimbing koperasi yang kecil sehingga dia punya perniagaan berjaya. Jadi dia tidak... program seperti ini dia tidak berbentuk one-off, setakat insentif semata-mata.

Di Negeri Johor contohnya, Program Mentoring And Coaching yang sedang dilaksanakan contohnya adalah Program Ternakan Lembu Tenusu dengan Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad (KOPERIS) sebagai mentor melibatkan 10 buah koperasi yang menjadi mentee dia. Dan antara lainnya ialah Program Mentoring And Coaching bagi perkhidmatan teksi dengan Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad sebagai mentor yang melibatkan 5 buah koperasi lain yang baru ingin establish dengan izin menjadi mentee nya. So, ini adalah bentuk-bentuk program yang dia bukan terhenti sekadar insentif semata-mata.

Dan yang kedua, bagi menjawab persoalan tentang apakah tindakan yang akan kita laksanakan sekiranya ada satu koperasi yang separuh jalan nampak gaya dia tak berdaya untuk teruskan, kita sedang meneliti perkara ini dan kita sedang, saya nak kata pemutihan tidaklah terlalu bersifat pemutihan, tetapi kita sedang menyaring beberapa koperasi yang ada dalam list kita, sekarang ini di Johor ada 1,370 koperasi bercampur antara koperasi yang sudah maju dan juga koperasi yang baru ingin bermula. Dan kita ingin melihat mana koperasi yang tidak berdaya saing ini untuk kita lihat apa tindakan, sekiranya perlukan bantuan kita berikan bantuan, sekiranya perlukan coaching kita akan berikan coaching dan sebagainya, untuk memastikan tidak berlaku seperti apa yang dinyatakan tadi, separuh jalan, akhirnya dia tidak berdaya saing. Terima kasih.

Speaker

Layang-Layang silakan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Yang Berhormat Speaker... Yang Berhormat Speaker, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, dari segi harga sawit menurun, harga getah pun menurun, apakah mungkin kalau ada strategi ataupun blue ocean strategy di antara EXCO Koperasi dan juga EXCO Pertanian untuk mengambil langkah-langkah, mungkin untuk membantu masyarakat yang duduk di luar bandar, yang banyak yang ada tanah dan sebagainya, mungkin boleh menggalakkan mereka, contoh menanam pisang, cili ataupun sayur-sayuran. Ini mungkin dapat membantu mereka memungut hasil sebagai satu koperasi tetapi dibantu oleh EXCO Pertanian dan juga EXCO Koperasi. Adakah itu satu possibility dengan izin, dari segi nak membantu rakyat di luar sana. Terima kasih.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Terima kasih Layang-Layang. Yang Berhormat Speaker, saya rasa ini adalah satu cadangan ataupun saranan yang baik iaitu mencari gantian sebagai prevention jugalah dengan izin untuk menghadapi ketidaktentuan keadaan ekonomi kita pada hari ini. Saya rasa point taken, ini satu saranan yang baik dan strategi akan saya laksanakan di peringkat saya punya Jawatankuasa yang melibatkan koperasi dan beberapa EXCO lain yang terlibat seperti Pertanian dan sebagainya. Terima kasih.

Yang Berhormat Speaker... Yang Berhormat Speaker...

Speaker

OK sila sila... saya tak perasan. Sila, sila...

Dalam Dewan ini ada 3, Kerajaan, Pembangkang dan Bebas. Saya beberapa kali naik tapi Datuk Speaker tengok kiri dan kanan, jangan lupa tengok di depan. Soalan tambahan saya...

Speaker

Tak, saya sebenarnya tengok dekat skrin ni, ada dekat skrin ni... tapi silakan, teruskan.

Saya pun ada pengundi juga Datuk Speaker. (Dewan ketawa). Soalan tambahan saya, boleh tak jelaskan jumlah koperasi-koperasi di setiap daerah-daerah dan jenis-jenis koperasi dan kalau boleh nyatakan sekali koperasi yang telah ditutup. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sila.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Terima kasih kepada Sedili yang bertanya. Yang Berhormat Speaker, saya ada data ini iaitu di Johor Bahru, kita bahagikan kepada 2 iaitu Johor Bahru 1 dan juga Johor Bahru 2. Johor Bahru 1 jumlah koperasinya adalah 205, Johor Bahru 2, 187; Batu Pahat, 164; Kota Tinggi,163; Kluang sebanyak 164 koperasi; dan juga Muar, 180; Segamat, 91; Kulai, 85; Pontian, 74 koperasi dan yang terakhir ialah Mersing, 57 koperasi. Membawa kepada angka keseluruhan koperasi yang wujud di Negeri Johor iaitu sehingga tahun ini 1,370 koperasi. Dan, daripada koperasi-koperasi yang ada di Negeri Johor ini, sekiranya saya boleh berikan sedikit pecahan koperasi-koperasi tersebut, sebanyak 29% daripada koperasi-koperasi tersebut berada pada... dia panggil dalam sektor perkhidmatan menawarkan sektor perkhidmatan, 34% kepenggunaan 21% pertanian, 7% pengangkutan, 4% kredit dan yang lain-lain itu terlibat yang peratusan kecil itu termasuklah pembinaan, perindustrian dan perumahan. Suka untuk saya nyatakan perkhidmatan 29% ini sebenarnya termasuklah juga seperti koperasi di peringkat sekolah-sekolah sebab itu angka dia besar dan angka yang kecil ini seperti perindustrian, pembinaan dan perumahan, masing-masing 2% dan juga 1%, sebenarnya ini juga concern ataupun kita punya fokus kita iaitu pada masa akan datang, koperasi-koperasi yang ada di Negeri Johor ini boleh terlibat dengan high end punya industri

yang lebih besar, yang melibatkan bisnes-bisnes yang lebih besar dan turn over yang lebih tinggi. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Yang Berhormat Penawar jemput. Soalan seterusnya Penawar.

Assalamualaikum. Sebelum saya ajukan soalan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan kerana pada 11 hari bulan 8 yang lepas telah pun melancarkan Majlis Pelancaran Pengecualian Bayaran Lesen Penjaja seluruh Negeri Johor. Soalan saya nombor 4. Dalam Manifesto Pakatan Harapan Negeri Johor, antara yang dijanjikan adalah pengecualian bayaran lesen penjaja oleh semua PBT, mohon dapatkan statistik bilangan ibu tunggal yang mendapat lesen penjaja bagi menyara ekonomi keluarga mereka.

Speaker

Seterusnya Serom.

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 5. Apakah kemudahan-kemudahan yang telah diperincikan oleh kerajaan PH Johor untuk pemberian lesen bagi peniaga dan penjaja kecil yang menjadi antara pengundi dan penyokong utama kerajaan PH?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Salam sejahtera, salam harapan kepada Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, izinkan saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat Penawar dan juga Yang Berhormat Serom secara bersekali. Yang Berhormat Tuan Speaker, memandangkan soalan ini melibatkan banyak fakta, saya harap Tuan Speaker dapat bersabar. Yang Berhormat Speaker, langkah mengecualikan bayaran fee lesen penjaja di seluruh kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor merupakan antara tawaran 10 janji 100 hari yang terkandung di dalam Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor. Objektif tawaran mesra rakyat yang dikemukakan ini, amat jelas iaitu membantu golongan peniaga kecil dalam merancakkan perniagaan mereka, sekali gus memberi nilai tambah kepada kebajikan dan kelangsungan hidup mereka dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa kini. Kerajaan Negeri tidak semberono dalam merealisasikan tawaran ini sebaliknya dengan penuh komited telah terlebih dahulu memperhalusi dan membincangkan dengan cermat di pelbagai peringkat melibatkan Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga wakil-wakil daripada Persatuan-Persatuan Penjaja. Susulan daripada siri perbincangan tersebut, Kerajaan Negeri secara prinsip telah bersetuju pada Majlis Mesyuarat Kerajaan bertarikh 25 Julai 2018 untuk melaksanakan tawaran pengecualian tersebut. Lanjutan daripada keputusan tersebut, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan inisiatif pengecualian bayaran lesen penjaja di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan pada Sabtu yang lalu, 11 Ogos di Jalan Segget, Johor Bahru. Dasar ini akan berkuat kuasa mulai 1 September. Sebagai pencerahan, inisiatif pengecualian yang ditawarkan tersebut hanya merujuk kepada bayaran lesen sahaja. Manakala syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak PBT wajib dipatuhi oleh penjaja. Antara syarat-syarat yang wajib dipenuhi oleh pemohon dan pemilik lesen adalah seperti berikut:

1. Pemohon mestilah warganegara Malaysia; 2. Pemohon dikehendaki hadir sendiri untuk membuat permohonan; 3. Mestilah mempunyai lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan hendaklah dipamerkan di tempat mudah dilihat sepanjang waktu perniagaan; 4. Pemohon perlu mematuhi lokasi perniagaan yang dibenarkan oleh PBT; 5. Bagi pemohon untuk penjaja makanan atau minuman, perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil suntikan typhoid serta menjalani kursus pengendalian makanan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak yang bertauliah. Justeru itu, pihak PBT dikehendaki secara proaktif melakukan pemantauan secara berterusan terhadap penjaja yang berniaga di kawasan mereka. Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil sekiranya terdapat warga asing yang menjalankan aktiviti menjaja. Kerajaan Negeri juga ingin menjelaskan bahawa tiada syarat khusus ditetapkan dalam konteks tertentu, sebaliknya permohonan diluluskan berdasarkan segala ketetapan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan yang dipenuhi oleh pemohon. Peluang menjalankan aktiviti menjaja adalah milik semua dan pengecualian bayaran lesen tersebut sebagai bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri kepada mereka. Meskipun tiada pengkalan data khusus tentang penglibatan ibu tunggal dalam aktiviti ekonomi sebagai penjaja, namun terdapat juga beberapa PBT yang mencatatkan angka penglibatan ibu tunggal berdasarkan permohonan dan pemilikan lesen dengan jumlah seramai 90 orang memiliki lesen penjaja mengikut pecahan seperti berikut. Untuk Majlis Daerah Pontian, seorang; Majlis Daerah Labis, 8 orang; Majlis Perbandaran Kluang, 27 orang; Majlis Perbandaran Kulai, 11 orang; Majlis Perbandaran Pasir Gudang, 40 orang dan Majlis Daerah Kota Tinggi, 3 orang. Dengan hasrat membantu para penjaja, pemberian pengecualian bayaran lesen ini akan melibatkan semua jenis lesen penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di pasar malam, pasar sehari atau pasar pagi, penjaja bergerak dan penjaja statik termasuk para peniaga di Bazar Karat yang secara keseluruhannya dianggar lebih daripada 21,127 penjaja. Turut tidak ketinggalan penjaja kenderaan saji ataupun foodtruck yang kini sedang berkembang di negeri Johor, dengan kebanyakannya diusahakan oleh golongan belia. Dalam pada itu, kerajaan negeri juga mengambil kesempatan ini untuk memperjelaskan bahawa manfaat pengecualian ini sekali lagi tidak, tiada sebarang syarat khusus iaitu tiada diskriminasi terhadap pegangan, tetapan ataupun kecenderungan politik pemohon.

Speaker

Sila Serom.

Terima kasih Yang Berhormat. Pertamanya, Serom ingin mengucapkan, mewakili para peniaga-peniaga di atas pengecualian fee lesen peniagaan bagi penjaja-penjaja Tuan Speaker. Untuk sebagai soalan tambahan yang pertama sekali, Serom ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO tentang kadar pendapatan yang hilang atau yang berkurangan kesan daripada pengecualian fee lesen peniagaan ini, yang mana kalau kita lihat sebahagian besar daripada pendapatan yang diperolehi daripada fee ini juga digunakan untuk kebajikan para peniaga. Sekian.

Speaker

Silakan.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih atas soalan daripada Yang Berhormat Serom. Yang Berhormat Tuan Speaker, bukan sahaja Yang Berhormat Serom yang tertanya-tanya tentang isu ini, kerana sebenarnya masyarakat awam juga selalu tanya, berapakah kerugian ataupun kehilangan hasil kerajaan negeri mahupun Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan dalam melaksanakan dasar ini.

Ini untuk makluman anggaran kutipan hasil lesen penjaja untuk tahun 2018 di mana seperti yang saya sebut tadi sebanyak 21,127 lesen akan dikecualikan daripada membayar yuran lesen. Melibatkan anggaran hasil sebanyak RM2,111,645.40. Yang mana jika kita bandingkan angka ini, dengan jumlah sebenar hasil bukan cukai yang diterima oleh seluruh Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Johor adalah lebih kurang 0.68%. Maka, saya lihat pelaksanaan dasar ini ia tidak sangat membebankan pihak kerajaan malah ianya boleh dijalankan dengan sekadar melakukan atau berpegang kepada prinsip penjimatan tanpa menambah apa-apa beban kepada pembayar cukai.

Speaker

Ok, Penawar. Silakan.

Terima kasih di atas jawapan. Tapi kalau ada lesen pun tidak ada tempat, ruang untuk berniaga pun tidak guna juga Yang Berhormat. Jadi, bagaimana cara kerajaan boleh bantu ibu tunggal untuk dapatkan premis perniagaan seperti gerai dan kiosk, dan adakah special kuota untuk mereka? Serta bolehkah mereka ini diberikan diskaun umpamanya macam 15% kalau mereka menyewa premis ini untuk membantu ibu-ibu tunggal dalam negeri Johor? Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih soalan daripada Yang Berhormat Penawar. Sebenarnya tidak lari juga walaupun soalan ini ditanya tentang pembayaran lesen, pengecualian lesen yang diberikan kepada ibu tunggal tetapi ini dipanjangkan sampai kiosk, gerai dan sebagainya. Tetapi, sebagai kerajaan yang prihatin, kita sedia menjawab.

Speaker

Prihatin tu prihatin, tapi jangan prihatin dengan ibu tunggal sahaja, dengan semua pun kena prihatin juga. (Dewan ketawa).

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Itu saya tak berani nak jawab Yang Berhormat Speaker. Tetapi kita sedia maklum bahawa ada juga golongan-golongan yang kurang berkemampuan dalam masyarakat ini. Seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Tuan Speaker tadi bukan sahaja kepada golongan ibu tunggal sahaja, sebenarnya untuk golongan-golongan lain seperti golongan Orang Kurang Upaya dan sebagainya, keistimewaan upaya dan juga mungkin golongan belia yang memerlukan bantuan secara terus ataupun secara tidak langsung daripada pihak PBT, sebenarnya boleh dibuat permohonan kepada Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan untuk dipertimbangkan dari semasa ke semasa. Buat sementara ini, memang tiada dasar khusus untuk mana-mana golongan tertentu tetapi segala permohonan itu boleh dibuat dan boleh dipertimbangkan.

Yang Berhormat...

Speaker

Yang Berhormat Mahkota, Mahkota. Ops, sorry.

Jangan lupa bebas.

Tuan Mohamad Said bin JonitAMANAH · PHMahkota

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 6.

Kerja-kerja jalan yang diberikan kepada konsesi dikatakan menjadi punca kos meningkat. Monopoli ini menyebabkan ramai kontraktor bumiputera gagal. Apakah monopoli melalui konsesi seperti ini akan diteruskan atau ada perancangan kerajaan negeri untuk mengatasi isu ini?

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. (Berselawat). Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan ini sebenarnya lebih kurang soalan A66 Yang

Berhormat Semarang dan juga soalan tambahan Yang Berhormat Benut. Tetapi seperti jawapan yang semalam yang semua maklum bahawa saya dah perjelaskan kontrak dia berbeza-beza cuma yang hampir tamat ini adalah dua syarikat iaitu AMONA dan juga TETO Engineering yang kita dalam proses rundingan tentang penamatan kontrak dan implikasi yang terlibat dari segi perundangan dan juga kos-kos terlibat dan semalam kita memang ambil langkah yang proaktif, semalam pun kita ada proses negotiation dengan izin, yang dipengerusikan oleh Pengarah Kerja Raya di Johor dan hampir muktamad dan ada satu lagi proses perbincangan dalam masa yang terdekat iaitu insya-Allah minggu depan kita akan tamatkan keputusannya. Jadi, saya sedia maklum bahawa isu ini, isu yang menjadi isu yang hangat di perkatakan dalam Facebook dan WhatsApp Group dan sebagainya. Malahan bukan sahaja diasak dengan persoalan ini, Yang Berhormat-Yang Berhormat rakan-rakan saya pun diasak dengan pertanyaan-pertanyaan tersebut. Dan, kita insya-Allah kita akan muktamadkan dalam masa yang terdekat. Terima kasih.

Speaker

Jementah.

Tuan Mohamad Said bin JonitAMANAH · PHMahkota

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Speaker

Sorry, Mahkota, Mahkota.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Terima kasih...

Speaker

Mahkota dulu, Mahkota dulu.

Tuan Mohamad Said bin JonitAMANAH · PHMahkota

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Soalan tambahan saya, sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa JKR ini dah lama dah berkhidmat kepada negara. Kalau kita lihat kalau banyak sangat konsesi yang melakukan kerja-kerja sama ada di peringkat daerah, di peringkat negeri dan sebagainya menyebabkan pejabat ini dah to me is macam sounds like redundant lah. Dan saya kesian kepada kalangan Profesional Engineers kerana saya planters. Pada planters pun kalau ramai sangat konsultan sana konsultan sini, menyebabkan planters give up dengan kerja dia. Saya mengharapkan adakah Yang Berhormat Speaker ataupun EXCO Kerja Raya memahami permasalahan kalangan Engineer bila banyaknya konsesi-konsesi diberikan untuk menjalankan kerja-kerja. Kesan negatiflah kepada kakitangan JKR itu sendiri.

Speaker

Jemput.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenarnya konsesi ini ada tiga yang seperti semalam saya cakapkan. Pertama jalan-jalan luar bandar melibatkan Infra Desa. Sebenarnya Infra Desa ini ada kepentingan syarikat kerajaan, iaitu 40% iaitu dimiliki oleh KPRJ dan sebarang keuntungan pun balik sebahagiannya kepada KPRJ dan dua lagi satu iaitu jalan persekutuan di bawah Setia Selenggara dan satu lagi jalan negeri di bawah TETO dan AMONA. Sebenarnya, kerja-kerja ini melibatkan Profesional Engineer tidak banyak sebenarnya cuma dari segi certified dan sebenarnya pengesahan ini kita masih melibatkan jurutera-jurutera daerah. Maknanya, projek ini bukanlah langsung kita tidak libatkan kepakaran jurutera-jurutera dalam JKR dan cuma saya ingin maklumkan ada kelebihan sikit dalam skop kerja ini dia ada, tengah built up proses pengumpulan data iaitu monitoring system. Jadi, ini ada juga kebaikan dia dari segi sistem untuk memudahkan mengumpul data tentang kualiti jalan yang dibuat. Jadi, tentang meminggirkan terus JKR itu, saya rasa tidaklah hundred percent secara total. Tetapi, cuma di samping itu ada juga dilantik konsultant ya, perunding untuk dia attached dengan izin, kepada syarikat-syarikat tersebut. Dia ada check and balance. Mula dibuat oleh perunding lepas itu confirmation nya daripada Jurutera Daerah. Dan, projek ini tidak melibatkan peluang banyak sangat bidang atau pekerjaan kepada jurutera-jurutera profesional, sebab dia melibatkan kerja-kerja yang kecil. Bukan kerja-kerja yang terlalu teknikal sangat ya. Macam kita buat bangunan, jalan ini simple sahaja. Dia punya scope of work tidak banyak. Dia ada dua kerja satu rutin dan satu berkala. Yang berkala ini kebanyakannya kerja premix, buat sub base, lepas itu premix

lepas itu kerja-kerja yang rutin, potong rumput dan juga penambakan bahu jalan. Itu sahaja ia tidak melibatkan terlalu teknikal sampai hendak melibatkan ramainya kepakaran yang kita perlukan dalam bidang teknikal. Terima kasih.

Speaker

Jementah.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Terima kasih Tuan Speaker. Jementah di sini ingin membangkitkan berkenaan dengan kerja-kerja jalan khususnya penyelenggaraan jalan-jalan. Sebab kadang-kadangkala kita nampak banyak jalan sebenarnya memang dalam keadaan yang agak baik juga. Tetapi, masih diselenggarakan, dikorek dan ditampal semula. Dan, selepas beberapa hari kalau ada hujan lebat, jalan tersebut rosak sekali lagi dan ditampal semula lagi. Dan, perkara ini saya nampak memang berlaku di banyak jalan-jalan khususnya di jalan persekutuan dan ingin saya tahu semasa perjanjian yang ditandatangani di antara pihak kerajaan khususnya JKR dengan konsesi-konsesi syarikat tersebut, adakah sebarang peruntukan yang dituliskan dalam perjanjian tersebut untuk memantau, menjalankan satu pemantauan yang lebih ketat lagi supaya kualiti-kualiti yang jalan yang dibaiki ini dipenuhi? Supaya tidak, kita nampak macam satu pembaziran yang tidak sepatutnya berlakulah. Maka, saya ingin mohon satu pencerahan dalam perkara ini sama ada adakah kita boleh kurangkan perkara sebegini berlaku? Korek, tampal, korek, tampal. Jalan itu, sebenarnya...

Speaker

Ok, faham.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Sebenarnya keadaan baik.

Speaker

Em, faham YB.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Ok, terima kasih.

Speaker

Silakan.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenarnya kontrak-kontrak ini dimeterai kepada kerajaan yang lama. Jadi, bila tubuhnya kerajaan baru Pakatan Harapan kita tidak boleh write-off terus perjanjian dan perjanjian perlu diteruskan. Jadi, kita cuma mengambil sebagai kerajaan baru, kita mengambil tanggungjawab untuk menggantikan tanggungjawab kerajaan yang ada. Dalam perjanjian sebenarnya proses membuat jalan adalah kejayaan dia punya placing bergantung kepada condition, asas dia. Kalau asas tak betul macam mana kita premix high quality dan sebagainya crusher run tak betul walaupun kita premix tebal macam mana pun dia tidak akan menjadi. Dalam kontrak-kontrak maintenance ni tak ada cerita untuk kita rombak balik jalan tersebut sampai kita buat satu yang major eh, pembaharuan yang major. Jadi, kalau itu berlaku dengan adanya aduan-aduan dan juga maklumat-maklumat daripada, daripada ni, orang awam atau daripada pemimpin setempat, kita boleh mohon peruntukan tambahan. Kadang-kadang jalan ni kita tengok, dia banyak kali buat, repair lagi, sebenarnya kadang-kadang ada faktor pasal sub base, tanah yang bawah tu mungkin unsuitable material, tanah yang tidak sesuai atau ada berlakunya aliran air di bawah. Kalau kita tampal pun, banyak kali pun dia akan terbongkar. Yang perkara-perkara macam gini dia perlukan satu bajet yang baru untuk kita buat major punya maintenance.Terima kasih.

Speaker

Ya, Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Biasanya Yang Berhormat, bahawa satu pihak menampal jalan, merata jalan sama ada atas tujuan penyelenggaraan ataupun kerja-kerja jalan yang baru, tetap akan berlaku kerja-kerja pengorekan sama ada oleh syarikat utiliti-utiliti. Jadi, apakah pendekatan yang bakal Yang Berhormat ambil supaya koordinasi antara JKR dan juga syarikat-syarikat utiliti yang saban tahun itulah yang menjadi punca dan masalah besar. Jadi, apakah

agaknya langkah yang bakal Yang Berhormat buat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan syarikat utiliti meletakkan wang amanah sebagai jaminan bahawa yang dikorek itu akan ditampal dengan sempurna tetapi hakikatnya seperti rakan-rakan yang lain cakap juga bahawa kerja-kerja penampalan itu juga tak dapat dibuat dengan sempurna walau banyak mana pun wang amanah yang diletakkan oleh syarikat utiliti. Jadi, kekangan kita ialah koordinasi. Jadi, apakah langkah yang nak dibuat oleh kerajaan sama ada terus tidak membenarkan ataupun bagaimana cara kita nak mengelakkan supaya kita tidak atau mempunyai kemudahan yang baik.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Terima kasih. Jadi, sebenarnya kerajaan yang lama pun menghadapi masalah yang sama. Susah untuk kita mengawal utiliti tapi jawapannya daripada soalan tadi kita tidak boleh melarang terus untuk projek-projek utiliti terutamanya untuk kawasan yang tidak ada ROW, dia terpaksa korek di jalan. Tapi, cara pendekatan kita, macam mana kita nak pantau ini proses koordinasi dan juga kita akan, kalau cakap mengkaji nanti orang cakap sebelah itu ayat standard. Tapi, memang itulah hakikatnya kita kena mengkaji terutama kerajaan baru, yang baru 3 bulan jadi kena buat kajian kita tidak boleh ini hari tanam pokok macam cerita semalam, esok durian dah tumbuh.

Speaker

Jangan takut dengan perkataan kajian itu Yang Berhormat.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Ya.

Speaker

Jangan takut dengan perkataan kajian itu.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Saya tak takut, cakap benar tak ada masalah, bukan kita nak dihukum bunuh. Jadi, kita kena buat kajian yang baik dan proses koordinasi antara JKR, Kerajaan Tempatan dan juga utiliti ni perlu adalah satu synchronise macam keserasian untuk kita mengawal. Jadi, saya faham pengalaman saya pun, saya ingat bekas Yang Berhormat EXCO pun kita dua-dua terlibat dalam bidang pembinaan dan apa ni pembangunan hartanah. Perkara ini bukan perkara yang mudah sebenarnya bukan ini hari katalah saya jadi EXCO, saya boleh pakai spender Superman besok boleh siap (Dewan ketawa). Jadi, kita perlukan sedikit masa…

Speaker

Yang Berhormat tak ada contoh lain ke? (Dewan ketawa).

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Tak, ini saya bercakaplah, bercakap dengan kebenaran, keikhlasan hati saya sebagai EXCO yang baru. Jadi, kita dan kita perlu juga komitmen daripada semua utiliti. Utiliti ni memang saya dulu pun sebagai, bekerja di syarikat swasta susah nak kawal kadang-kadang. Betul Yang Berhormat?Jadi tak apalah, bagi peluang kepada kami, untuk kami membuat penambahbaikan sistem. Sistem ini perlu dari semasa ke semasa kita kena buat penambahbaikan kalau kita biar saja sistem itu, manusia ini perlu dikawal oleh sistem yang baik dan manusia juga mengawal sistem. Jadi, dia ada 2 hubungan 2 hala yang perlu kita tengok dan hasilnya kita akan dapat kesan yang positif. Saya ingat itu cukup untuk menjawab soalan YB sifu saya. Terima kasih.(Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO. Seterusnya, soalan daripada Pasir Raja, Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Bismillahirahmaanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.

Minta dinyatakan apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam membantu peneroka FELDA yang terkesan akibat kejatuhan harga minyak sawit?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih YB Speaker. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Harapan, Salam Sayangi Malaysiaku. Saya tak pasti, saya adalah yang tepat untuk membuat jawapan. Insya-Allah, walaupun di sana ada EXCO Pertanian tetapi di bawah portfolio saya, FELDA diletakkan di bawah Portfolio Perumahan dan juga Pembangunan Luar Bandar. Harga minyak kelapa sawit ditentukan oleh MPOB ataupun Malaysian Palm Oil Board mengikut zon di negeri Johor iaitu selatan, tengah dan juga utara.

Harga berbeza-beza mengikut banyak faktor di antaranya jenis tanah, cuaca dan seumpamanya. Harga minyak kelapa sawit sekarang ini adalah berada pada tahap RM432.00 tan, satu tan dan sebagai perbandingan sebelum daripada PRU harganya adalah RM535.00 bagi satu tan. Makna nanti jangan kita kata sebab PRU harganya jatuh sebab Pakatan Harapan. Tapi, secara jujur saya sebut juga jumlah tersebut. Sebagai bench mark untuk kita mengetahui sama ada keadaan harga sekarang ini lebih tinggi ataupun lebih rendah iaitu kita pernah mencecah harga yang paling tinggi adalah RM800.00 bagi satu tan. Dan, kita boleh kata, RM432.00 ini adalah berada pada tahap dalam region yang rendah. Trend harga minyak kelapa sawit sekarang adalah menurun kerana bergantung kepada dengan izin,market forces demand dan supply, di samping terdapat 2 cabaran utama yang kita hadapi oleh negara kita selaku negara kedua pengeluar terbesar kelapa sawit dalam dunia iaitu:

1. Persaingan daripada negara-negara pengeluar utama minyak kelapa sawit iaitu jiran kita Indonesia dan juga Thailand.

2. Adalah persaingan daripada minyak soya sebagaimana yang kita ketahui sama yang tidak perlu ulas di dalam Dewan yang mulia ini.

Pihak kerajaan negeri mencadangkan kepada FELDA agar hutang peneroka ditangguhkan buat sementara waktu bagi berhadapan dengan harga komoditi kelapa sawit, minyak kelapa sawit yang menurun yang saya sebutkan tadi.Ini bagi membantu pendapatan bersih peneroka tidak ditolak hutang semasa seperti hutang pinjaman pembesaran rumah, bayaran kembali ahli ladang dan hutang baja semasa.

Pendapatan bersih peneroka juga akan dipastikan agar tidak kurang daripada RM1,000.00 sebulan. Harga minyak sawit adalah berdasarkan kepada harga semasa. Namun di peringkat kilang harga kelapa sawit bergantung kepada kadar perahan di gred ataupun ringkasnya KPG di kilang. Oleh itu, kawalan KPG boleh dipantau di peringkat ladang, di mana buah-buahan dihantar perlu memastikan menepati kualiti supaya mendapat kadar perahan di gred yang tinggi bagi mendapatkan harga yang tinggi untuk pendapatan yang lebih baik. Penggunaan buruh dirancang, di rancangan juga akan di maksimum bagi membolehkan hasil dikeluarkan sepenuhnya.

Yang kedua, kerajaan negeri juga mencadangkan supaya diwujudkan kepelbagaian sumber pendapatan kepada peneroka FELDA. Sebagaimana yang pernah diusahakan oleh RISDA, kerana sekarang ni RISDA pendapatan sebulan bagi peneroka ataupun pekebun getah yang berkeluasan 2.1 hektar ataupun 5 ekar adalah berada dalam anggaran RM1,500.00 sebulan berdasarkan kepada harga getah sekarang ini RM5.00 sekilo. Tinggal lagi syiling, ataupun floor, sorry, minta maaf saya, floor adalah RM5.50.Makna bila harga getah kurang daripada RM5.50, kerajaan akan menambah RM0.50 bagi memastikan harga floor adalah RM5.50. Dan, RISDA mencadangkan atau menyasarkan supaya pendapatan sebagai pekebun getah berada pada angka RM4,000.00 sebulan menjelang 2020. Oleh itu, satu program saya rasa yang boleh diguna pakai juga oleh FELDA iaitu integrasi di antara pertanian dan juga keusahawanan termasuk juga dari segi integrasi pertanian dengan mempelbagaikan termasuk juga dengan menanam tanaman kontan seperti tembikai dan juga mengusahakan ternakan, di samping produk-produk usahawan hiliran, kraf tangan dan seumpamanya. Dan

ini boleh dijadikan sebagai satu usaha bagi meningkatkan pendapatan kepada peneroka daripada semata-mata berdasarkan kepada pendapatan daripada minyak kelapa sawit sahaja. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Tuan Speaker. Terima kasih juga di atas jawapan yang telah diberikan. Tuan Speaker, seperti anak peneroka FELDA Air Tawar 5, Kota Tinggi telah berjaya menghasilkan satu ciptaan iaitu mesin cantas kelapa sawit. Jadi, soalan saya, mohon nyatakan inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri untuk menggalakkan anak-anak peneroka yang menguruskan ladang sawit supaya pembangunan teknologi baru dapat dihasilkan atau dipergiatkan atau diperhebatkan. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih di atas soalan tambahan. Suka saya menjelaskan bahawa FELDA sebenarnya adalah agensi di bawah Persekutuan dan sebahagian besar daripada peruntukan adalah daripada kerajaan Persekutuan termasuk dari segi kawalan. Apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri sekarang ini banyaknya adalah berkaitan dengan perumahan generasi kedua. Hal-hal yang berkaitan dengan tanah yang mana tanah adalah merupakan urusan kerajaan negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, itu yang sekarang ni yang involvement, ataupun penglibatan secara langsung kerajaan negeri bersama dengan pihak FELDA. Apa pun, yang diutarakan oleh soalan tambahan tadi, tidak ada masalah supaya kerajaan negeri memberikan saranan bagi memberikan insentif-insentif tertentu, supaya proses pemodenan pertanian ini dapat dijalankan dengan baik dalam semua sektor pertanian di negeri Johor khususnya dalam usaha kita menjadikan negeri Johor sebagai hab pengeluaran makanan dan hasil pertanian dalam negara kita.

Tuan Muhamad Said bin JonitAMANAH · PHMahkota

Speaker….

Speaker

Mahkota.

Tuan Muhamad Said bin JonitAMANAH · PHMahkota

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Untuk makluman sebenarnya saya difahamkan bahawa FELDA dah buat macam-macam dah untuk peneroka ini kan,untuk peneroka dan terakhir sekali ada di kalangan peneroka telah mungkin sampai ke tahap untuk membolehkan mereka meminjam wang daripada bank untuk membolehkan mereka menjalankan perniagaan. Jadi, saya nak maklumkan di sini bolehkah kerajaan negeri membantu kalangan peneroka yang telah mungkin tanahnya akan dilelong akibat daripada meminjam dengan Agro Bank kerana menjalankan kegiatan-kegiatan ekonomi yang telah gagal? Iaitu ini berlaku di Air Tawar 2 di mana ada dua orang peneroka dan mungkin ladangnya akan dilelong kerana meminjam wang daripada Agro Bank sebanyak RM250,000.00 dan saya difahamkan FELDA tidak ada polisi untuk menebus tanah ni. Jadi, adakah kerajaan negeri dapat memikirkan sesuatu supaya perkara-perkara sebegini tidak berlaku dan bagaimana cuba mengatasi masalah dua orang peneroka ini. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih kepada YB Mahkota di atas soalan tambahan. Suka kita nyatakan bahawa bila melibatkan pinjaman dan ini juga sebenarnya berlaku bukan sekadar kepada Air Tawar 2 tetapi kepada peneroka-peneroka yang lain. Bila mana mereka diberikan geran berasingan hak milik persendirian, mereka cuba mencari jalan pintas atau pun mungkin di atas nasihat yang tidak betul untuk mencagarkan tanah mereka yang 10 ekar pertanian ini untuk mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan. Kadang-kadang apa yang terlepas pandang oleh mereka, tanah FELDA ini adalah tanah GSA. Mereka ada biasa memiliki 2 geran. Satu geran kebun dan satu geran tapak rumah. Bila dilelong walaupun dia cagarkan

tanah kebun, bila dilelong oleh pihak bank apabila gagal membayar pinjaman, tapak rumah pun akan pergi sekali. Ini gabungan di bawah GSA dan tentang isu pinjaman mereka gagal ini sebenarnya adalah merupakan hal peribadi ataupun hal persendirian di antara tuan tanah tersebut dengan pihak bank. Kerajaan tidak ada authority, dengan izin ataupun local .... untuk campur tangan di dalam urusan prosiding dengan izin, lelongan dibuat melalui mahkamah tinggi. Apa pun yang boleh kita nasihatkan adalah supaya kes-kes ini menjadi satu pengajaran, lesson learn kepada semua peneroka supaya mereka mengambil langkah yang lebih tepat merundingi sama ada pihak-pihak yang ber authority kerajaan mahupun pihak FELDA sendiri sebelum mereka mengambil tindakan untuk mencagar atau pun menggadaikan tanah mereka khususnya untuk menjalankan perniagaan yang luar daripada kemahiran mereka. Sekian, terima kasih.

Speaker

Layang-Layang.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Terima kasih Yang Berhormat Speaker, seperti tuan EXCO, YB EXCO sebut tadi, harga sawit kita ada ialah rendah pada ketika ini dan tidak salah saya adalah yang terendah dalam sejarah negara. Jadi, dan antara sebabnya ialah tentang persaingan dan juga demand dan supply, yang disebut tadi dengan izin. Jadi soalan saya dari segi permintaan ini, harga kita, harga sawit turun ini, adakah ia disebabkan oleh permintaan yang berkurangan daripada negara China dan sekarang ini membeli sawit di negara Indonesia?. Terima kasih.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih kepada YB yang bertanya. Dalam perbincangan saya dengan pihak FELDA baru-baru ini, di antara market atau pasaran yang kita cuba teroka oleh pihak FELDA adalah melalui pasaran yang luas di negeri China, itu sebabnya sekarang ini, saya rasa bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita tengah mengadakan usaha untuk mengadakan perundingan sama ada dengan pihak kerajaan negeri China mahupun daripada pesaing-pesaing pengeluar kacang soya di belah negara blok timur, blok barat, maaf saya. Supaya usaha untuk kita meneroka pasaran baru ini dapat dilakukan dengan baik dan sebagaimana kita tahu bahawa negara China mempunyai jumlah penduduk yang cukup ramai, mempunyai permintaan yang tinggi dan kalau kita boleh penetrate, dengan izin pasaran negeri China ini mungkin, kemungkinan besar harga kepada kelapa sawit, minyak kelapa sawit kita boleh kita tingkatkan.

Dan, kerajaan negeri Johor sangat prihatin tentang nasib yang dialami oleh peneroka FELDA sekarang ini dan kita berdoa supaya usaha-usaha daripada kerajaan Persekutuan yang diketuai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Osman Sapian, kita dapat membantu bagi meringankan beban kewangan dan kos sara hidup yang dialami oleh pihak peneroka ekoran daripada kejatuhan harga minyak kelapa sawit. Sekian.

Speaker

Soalan seterusnya daripada Machap.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 8. Berapakah bilangan pelajar yang tercicir di negeri Johor dan langkah mengatasinya.

Speaker

Jemput YB EXCO

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat tuan Speaker, saya menjawab bagi pihak Yang Berhormat EXCO Pendidikan yang sekarang berada di tanah suci. Yang Berhormat Machap, murid cicir bermaksud murid yang tidak mengikuti pendidikan wajib di sekolah. Murid yang mendaftar tetapi tidak meneruskan persekolahan dalam sistem pendidikan

formal atau murid yang dianggap keluar dari sistem persekolahan sebelum ia tamat atau menghabiskan tempoh persekolahannya.

Untuk makluman Yang Berhormat pada masa ini, jumlah murid cicir di negeri Johor adalah seramai 4,499 orang pelajar iaitu 0.78% daripada jumlah keseluruhan 580,032 murid. Analisa cicirnya adalah seperti berikut : Batu Pahat, jumlah murid seramai 68,725, yang tercicir 170 orang; Johor Bahru, jumlah murid 120,454, yang tercicir 1,412; Kluang, jumlah murid 46,543, yang tercicir 424; Kota Tinggi, jumlah murid 33,606, yang tercicir cuma seorang. Mersing, jumlah murid 13,440, yang tercicir 101 orang; Muar, jumlah murid 41,814, yang tercicir 379; Pontian, jumlah murid 29,324, yang tercicir 197; Segamat, jumlah murid 32,753, yang tercicir 282; Kulai, jumlah murid 55,398, yang tercicir 357; Pasir Gudang, jumlah murid 114,830, yang tercicir 1038; Tangkak, jumlah murid 23,145, yang tercicir 138.

Antara puncanya ialah: 1. Masalah keluarga dan juga penceraian. 2. Faktor kewangan dan faktor pekerjaan. 3. Kes disiplin dan ponteng sekolah dan 4. Berada di luar sistem pendidikan kebangsaan.

Bagi mengatasi masalah ini, jawatankuasa penyiasatan murid cicir, JPMC telah ditubuhkan bagi menyediakan data risiko murid cicir dan dan juga murid berisiko cicir. Antara langkah mengatasi murid cicir adalah:

1. Berkolaboratif bersama antara JPNJ, PPD, PIBG, PIBK, GO, NGO, PDRM dan juga bersama pemimpin masyarakat.

2. Mengenal pasti keluarga yang bermasalah untuk dirujuk kepada pihak-pihak berkaitan supaya boleh dibantu.

3. Mengadakan kursus motivasi murid-murid di sekolah-sekolah.

4. Motivasi pendidikan alternatif dan kerjaya murid.

5. Murid-murid didedahkan dengan peluang pendidikan yang lain seperti latihan bentuk kemahiran agar mereka mempunyai kerjaya di masa hadapan yang diselaraskan di pusat inovasi pendidikan dan kerjaya di JPNJ. Antara aktiviti di pusat ini ialah, Career Talk, Success Story dan Eksplorasi Kerjaya. Terima kasih.

Speaker

Ya, Machap jemput.

Terima kasih kepada penjelasan yang telah diberikan bagi pihak wakil EXCO Pendidikan dan Agama, soalan tambahan saya ialah adakah pelajar-pelajar yang tercicir ini telah dibuat penerusan berkaitan dengan kes-kes salah laku atau pun kes-kes jenayah ekoran daripada keciciran mereka akibat tidak meneruskan di sekolah, pembelajaran mereka di sekolah. Sebab yang lepas, kita pernah mendengar ada satu kes pembakaran di sebuah tahfiz yang dikatakan mereka yang terlibat itu adalah pelajar yang tercicir dari alam persekolahan. Jadi adakah pelajar-pelajar yang tercicir ini ada melakukan kes-kes jenayah atau pun jenayah sosial yang lain. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Terima kasih atas soalan tambahan daripada Yang Berhormat Machap. Untuk jawapan tersebut, insya-Allah, dalam ucapan penggulungan saya akan bagikan data-data terperinci untuk makluman Yang Berhormat Machap dan juga semua Ahli-ahli Dewan. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Kemelah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Soalan nombor 9 Di maklum bahawa terdapat kaunter khas KPDNK telah di tutup. Apakah langkah-langkah memastikan aduan berkaitan harga barang makanan asas termasuk harga ayam dan daging sampai kepada pihak berwajib?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Terima kasih tuan Speaker, dan terima kasih Yang Berhormat Kemelah. Ahli-ahli Yang Berhormat, kaunter khidmat pengguna, K2P diwujudkan bertujuan untuk memudahkan pengguna menyemak timbangan barang yang dibeli serta membuat aduan sekiranya berlaku aktiviti-aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang di bawah seliaan KPDNHEP. Kaunter khas ini terdapat di setiap daerah dan di beberapa tempat di dalam pasar awam negeri Johor. Di Segamat, kaunter ini ditempatkan di pasar awam Segamat. Namun begitu, mengikut statistik pelaporan KPDNHEP cawangan Segamat dan daerah-daerah lain, tiada sebarang aduan diterima di lokasi kaunter khidmat pengguna K2P sepanjang tempoh kewujudan kaunter tersebut. Beberapa faktor dikenal pasti menyebabkan kaunter tersebut tidak mendapat sambutan kerana terdapatnya pelbagai medium saluran aduan yang lebih mudah dibuat dan diadukan.

Ahli Yang Berhormat, oleh yang demikian, pihak KPDNHEP Segamat, telah mengambil tindakan pro aktif bagi mengatasi permasalahan tersebut dengan melakukan pemeriksaan secara berkala yang dijalankan bahagian penguatkuasa selain pemantauan harga barangan oleh pegawai pemantauan harga secara harian di pasar awam Segamat dalam memastikan keberadaan pegawai-pegawai tersebut. Ianya bagi membantu pengguna menyemak harga barangan mengikut lokasi selain mudah membuat perbandingan harga. Pihak KPDNHEP telah menyediakan satu platform semakan harga yang dikenali sebagai price checker yang boleh dimuat turun melalui aplikasi playstore. Aplikasi ini sedikit sebanyak membantu pengguna menjadi pengguna bijak dalam memastikan harga sesuatu barangan.

Ahli Yang Berhormat, dalam memastikan aduan pengguna sampai kepada pihak KPDNHEP, aplikasi EZ ADU telah disediakan dan juga boleh dimuat turun melalui playstore bagi memudahkan penggunaan membuat aduan. Pengguna juga boleh membuat aduan melalui laman sesawang https:eaduan.kpdnkk.gov.my atau melalui talian hotline 1-800-886-800. Manakala khusus di pejabat Segamat, nombornya, 07-943 3810 serta boleh hadir di pejabat KPDNHEP yang berhampiran. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ok, saya tidak buka untuk soalan tambahan sebab masa dah tepat pukul 11.00. Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Kita tangguhkan persidangan ini sehingga 11.20 pagi. Persidangan ditangguhkan jam 11.00 pagi. Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.

YB Speaker mengetuai Persidangan.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan JohorAddress / budget

Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan ini disambung sekarang, dijemput Yang Berhormat daripada Larkin.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Bismillahirrahmannirrahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada Yang Amat Berhormat Tuan Speaker...

Speaker

Yang Berhormat aje, tak Yang Amat Berhormat.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan juga barisan Ketua-Ketua Jabatan serta sekalian Pengarah yang hadir.

Terlebih dahulu Larkin ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang sudi menyampaikan titah bagi merasmikan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Yang Keempat Belas yang lalu.

Larkin ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Speaker, juga Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Osman bin Haji Sapian selaku Menteri Besar Johor dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana telah dilantik dan dipilih sebagai individu yang diberi mandat oleh rakyat bagi mewakili suara dan harapan mereka di dalam Dewan yang mulia ini.

Larkin juga memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di dalam Dewan yang mulia ini dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana telah memberi peluang kepada Larkin untuk mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

Berhimpunnya kita di sini hanyalah semata-mata untuk menyuarakan hal-hal kepentingan rakyat. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri, kita tidak seharusnya ada perasaan dendam, iri hati atau bongkak, akhirnya kita akan bertelagah dan menjadikan Dewan yang mulia ini seperti sarkas. Marilah kita bersama-sama menjadikan Dewan yang mulia ini Dewan yang terbaik di dalam negara kita.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum Larkin meneruskan perbahasan, Larkin ingin mengulas kenyataan dari YB Semarang yang mempersoalkan tentang amanah. Terima kasih kepada YB Semarang kerana mengingatkan Pakatan Harapan berkenaan hal-hal rakyat serta menyentuh perkara yang dikatakan fitnah, yang sengaja dibuat oleh Pakatan Harapan semata-mata untuk meraih undi.

Untuk makluman YB Semarang, amanah kepada rakyat merupakan teras serta tunjang perjuangan Pakatan Harapan. Dan kami akan berazam untuk melaksanakannya dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah agar kami tidak perlu menjawab di akhirat seperti yang dimaksudkan oleh YB Semarang. Kami sedar akan tanggungjawab yang telah diberikan. Apa yang ingin Larkin persoalkan di sini, bagaimana pula dengan kehancuran dan kerakusan yang telah dilakukan oleh pemerintah sebelum ini? Dan yang dibawa ini masih komited, berusaha, mempertahankan pemimpin yang bergelar kleptokrat, yang ni sah kena jawab.

Untuk perhatian YB Machap, bukanlah satu amalan bagi Pakatan Harapan untuk mendiskriminasikan kawasan yang diwakili barisan pembangkang. Malah perkataan harapan mengambil pendekatan untuk menumpukan perhatian dan komitmen yang tinggi dalam memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Larkin percaya dengan usaha gigih dan ikhlas yang berterusan dalam membantu masyarakat setempat, sudah semestinya dapat menawan hati pengundi dan seterusnya berjaya menawan kawasan tersebut pada PRU yang akan datang.

Seterusnya Larkin ingin mendedikasikan serangkap pantun buat perhatian YB Benut, sahabat baik saya, dia tak ada di sini. Irama dan lagu tidak akan sempurna tanpa seorang DJ, Lebih baik menarik lagi... lebih menarik lagi jika ianya dikendalikan pelawak yang

terkenal bernama Enot, Kleptokrasi adalah pengesahan DOJ, Kelentongkrasi hanya persepsi emosi YB Benut.

Speaker

Mata panggil marah dalam pantun tu...

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

(Ketawa). Yang Berhormat Tuan Speaker, kita harus sedari sama ada di pihak Kerajaan mahupun pihak pembangkang, Larkin percaya hala tuju dan objektif utama kedua-dua belah pihak secara umumnya adalah berada di atas paksi yang sama iaitu memperjuang, menjaga, membela dan melaksanakan tanggungjawab dalam hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat selain memacu pembangunan ekonomi dan kemajuan negara.

Larkin juga memperakui bahawa pihak pembangkang mempunyai pengalaman yang begitu lama di tampuk pemerintahan sebelum ini. Larkin mengalu-alukan apa yang pandangan bernas dari pihak pembangkang selagi ianya selari dan dapat membantu usaha Kerajaan dalam memajukan masyarakat dan Negeri Johor dari semua aspek.

Justeru itu, Larkin amat berharap kedua-dua pihak ini akan dapat lebih bekerjasama pada masa akan datang dan berusaha keras mengelakkan perbalahan berteraskan parti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Johor itu sendiri.

Yang Berhormat Tuan Speaker, di sini ingin Larkin berkongsikan beberapa isu utama iaitu melibatkan hasil Kerajaan Negeri dan isu-isu yang terus membelenggu serta menyumbang kepada permasalahan rakyat umumnya dan Negeri Johor secara khususnya. Seperti yang semua sudah sedia maklum, Kerajaan Negeri Johor memiliki beberapa buah syarikat berkaitan Kerajaan iaitu GLC seperti JCorp, KPRJ, PIJ, PDT, YPJ dan lain-lain lagi yang dilihat menjadi tunjang jentera pembangunan ekonomi dan infrastruktur bagi kelestarian rakyat Negeri Johor.

Pelbagai bentuk bantuan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada GLC-GLC ini sama ada melalui suntikan modal tunai, aset mahupun kurniaan tanah milik Kerajaan bagi tujuan menggalakkan lagi pertumbuhan pembangunan dan perniagaan. Dengan bantuan-bantuan tersebut, sepatutnya GLC-GLC ini boleh memberi pulangan yang besar kepada Kerajaan Negeri. Setiap GLC ini bertanggungjawab mengurus tadbir serta meniagakan aset atau tanah dengan cekap dan efisien bagi meraih keuntungan pada kadar maksima dan seterusnya memberi pulangan dividen yang tinggi kepada Kerajaan Negeri.

Oleh itu, bagi memastikan penjanaan jumlah pulangan dividen yang maksima Kerajaan Negeri, aktiviti GLC serta pelaburannya hendaklah perlu diteliti dan dikaji semula berdasarkan kepada situasi ekonomi semasa.

Merujuk kepada perkara tersebut, Larkin ingin mengambil salah satu syarikat di bawah Kerajaan Negeri Johor iaitu Johor Corporation yang dahulunya dikenal sebagai PKENJ. Menurut laporan penyata kewangan JCorp 2017, Kulim Berhad selaku sayap perladangan dan oil and gas bagi JCorp, perolehan Kulim sedikit merosot kepada RM1.54 bilion pada 2017 berbanding RM1.6 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Keuntungan sebelum cukai merosot daripada RM59.90 juta kepada RM43.44 juta. Penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 27.49% adalah disebabkan oleh prestasi yang rendah dan kerugian syarikat subsidiari.

Jika diteliti dan mengambil Kumpulan Prasarana Rakyat Johor iaitu KPRJ sebagai satu lagi contoh. Sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan nilai pelaburan awal berjumlah RM1 juta. Berdasarkan laporan kewangan beraudit KPRJ bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, nilai pelaburannya dalam ekuiti syarikat-syarikat adalah tinggi iaitu berjumlah RM1.4 bilion. Di mana 59% daripadanya merupakan pelaburan jangka panjang yang berjumlah RM817 juta. Namun pendapatan yang diperolehinya pula adalah sejumlah RM28 juta sahaja. Dan pulangan dividen kepada

Kerajaan Negeri pula berjumlah RM45 juta. Berapakah banyak dividen yang telah diterima oleh KPRJ sejak ia melabur dalam ekuiti-ekuiti syarikat?

Mungkin Kerajaan Negeri perlu mengarahkan KPRJ supaya menyemak semula pelaburannya yang berteraskan hartanah. Contohnya dalam 37% Iskandar Waterfront Holding Sdn. Bhd., 30% dalam Iskandar Investment Berhad, Southkey City Sdn. Bhd. dan lain-lain lagi. Sekiranya pulangan tidak banyak tetapi lonjakan nilai telah berganda, adalah wajar pelaburan ekuiti tersebut dijual atau disusun semula bagi memastikan pulangan diraih sekarang. Langkah ini adalah selari dengan Kerajaan Persekutuan yang sedang mengkaji semula prestasi serta strategi setiap GLC.

Sebagai Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, langkah dan polisi Kerajaan Persekutuan dalam pemantauan GLC boleh diambil kira dengan mengarahkan semua GLC mengkaji kebolehupayaan pelaburan-pelaburannya. Ini bermaksud kajian perlu dilakukan dengan izin, debt service ratio gearing financial obligation capacity agar tidak akan memberi risiko kepada Kerajaan Negeri dengan izin mitigated risk.

Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara atau isu seterusnya yang ingin Larkin sentuh adalah berkenaan isu perumahan, setinggan dan juga gelandangan yang akhir-akhir ini pada pandangan Larkin semakin membimbangkan. Rakyat di kawasan DUN Larkin khususnya menuntut agar dasar pembangunan perumahan yang bakal dibangunkan hendaklah berpaksikan kepada iltizam ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan juga Perdana Menteri, yang mana mahu setiap rakyat mempunyai tempat perlindungan yang selamat. Ianya seiring dengan keperluan rakyat khususnya di bumi kawasan Larkin.

Di sini isu yang Larkin ingin tekankan adalah berkenaan projek-projek perumahan atau kediaman mampu milik. Ia kerana bagi mereka yang tidak mampu untuk memiliki rumah atau kediaman kos sederhana dan tinggi, sudah pastinya rumah mampu milik menjadi sasaran utama. Merujuk kepada permasalahan yang sama adalah masalah projek-projek perumahan yang dikategorikan sebagai projek sakit dan terbengkalai juga adalah antara punca utama kegiatan perlaksanaan penyediaan perumahan kepada rakyat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perumahan 2017, statistik bagi Negeri Johor sahaja khususnya telah menunjukkan bahawa sejumlah 44 bilangan projek terbengkalai yang melibatkan pembinaan 8,839 buah unit rumah telah pun dikenal pasti. Ianya merupakan satu jumlah yang agak banyak. Apakah nasib yang terjadi kepada rakyat atau warga tempatan khususnya pembeli unit rumah bagi projek yang terlibat ini? Sekiranya mampu, mereka terpaksa menyewa, bukankah ia menjadi tambahan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat akibat kecuaian pihak Kerajaan. Bagaimana pula mereka yang tidak mampu? Alternatif serta pilihan terakhir mereka bagi meneruskan kehidupan adalah dengan mendiami kawasan perumahan setinggan. Maka tidak hairanlah sekiranya isu kawasan setinggan akan berterus membelenggu Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa. Lebih menyedihkan lagi, ada di antara mereka terpaksa hidup merempat tanpa tempat tinggal yang seterusnya menyumbang kepada isu gelandangan.

Larkin amat hairan apabila perkara seperti ini boleh berlaku di zaman pemerintahan kerajaan terdahulu yang dikatakan cekap, efisien dan berintegriti. Justeru itu, Larkin mewakili rakyat khususnya warga Larkin memohon kepada Kerajaan Negeri di bawah SUK Perumahan Kerajaan Negeri agar dapat memberikan pencerahan dengan membuktikan secara tuntas.

1. Apakah Dasar Perumahan yang sebenarnya? 2. Berapakah jumlah peratusan yang dikhususkan untuk kaum bumiputera agar dia diwartakan untuk pengetahuan seluruh rakyat di Negeri Johor, tidak kira sama ada di dalam bandar ataupun di luar bandar? 3. Apakah pendekatan dan langkah atau usaha segera Kerajaan Negeri bagi menangani masalah projek-projek sakit yang terbengkalai dan lewat ini?

4. Apakah usaha seterusnya dari Kerajaan untuk membantu mereka yang gagal dan tidak layak untuk mendapat pinjaman daripada institusi perbankan?

Yang Berhormat Tuan Speaker, Larkin di sini turut ingin mengesyorkan dengan tegas agar pihak kerajaan negeri dapat mengambil langkah pragmatik melalui semakan, kajian dan penilaian semula projek-projek perumahan yang berkaitan khususnya dari latar belakang, serta pengurus pemaju yang telah dilantik dan gagal dalam melaksanakan projek yang telah diamanahkan. Ini bagi mengurangkan kerugian yang bakal ditanggung oleh kerajaan negeri mahupun rakyat tempatan. Kerajaan negeri perlu merancang dan melaksanakan satu mekanisme atau kaedah bagi memperhalusi proses penilaian serta penawaran harga sesebuah tender agar dapat dikawal dan tidak berlebihan. Ianya bertujuan untuk mengawal serta mencegah penggunaan kos, perbelanjaan kerajaan negeri secara berlebihan dan merugikan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara atau isu semakin meruncing dan ingin Larkin ketengahkan di sini adalah isu nasional secara umumnya. Iaitu, isu peningkatan jumlah tenaga kerja tempatan yang bekerja di negara jiran di Singapura khususnya Bangsa Johor.

Speaker

Masa ada 2 minit lagi, Yang Berhormat.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Jumlah warga tempatan yang berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari atas urusan pekerjaan yang pernah direkodkan telah mencecah hampir 400,000 orang. Seperti mana yang dilaporkan di dalam Sinar Online edisi 19 Februari 2017, penyusutan nilai ringgit bermula pada tahun 2016 merupakan salah satu faktor utama peningkatan sejumlah besar rakyat atau pekerja tempatan yang merantau mencari rezeki di Singapura. Larkin berpandangan bahawa isu kadar peningkatan yang tinggi bagi jumlah warga tempatan yang bekerja di negara jiran perlu diambil perhatian yang serius serta pendekatan yang khusus dari pihak kerajaan negeri mahupun kementerian. Ini kerana peningkatan jumlah tenaga kerja tempatan yang bekerja di Singapura secara mendadak tidak terkawal dikhuatiri akan mewujudkan lambakan pekerja transit. Dan, seterusnya menjurus kepada permasalahan sosioekonomi mahupun budaya tempatan. Bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat Johor dan warga Larkin khususnya, Larkin di sini memohon butiran terperinci dan pencerahan mengenai data terkini pelan perancangan atau tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri dalam menandatangani permasalahan ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, penduduk bandar raya Johor Bahru terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Bandaraya Johor Bahru juga merupakan antara bandar raya yang pesat membangun dari sudut ekonomi mahupun sosiobudaya di negara ini. Lokasi strategik sebagai pintu masuk hubungan dua hala di antara Malaysia dan Singapura secara tidak langsung boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi. Negeri Johor dan Bandaraya Johor Bahru secara khususnya, menjadi lokasi transit kepada pelancong luar negara mahupun tempatan. Bandaraya Johor Bahru berpotensi menjadi salah satu bandaraya pelancong terkemuka. Sehubung dengan itu, maka tidak wajarlah kehadiran pelancong-pelancong ini disajikan dengan satu pemandangan yang kurang enak. Apa yang Larkin sentuh di sini adalah masalah, isu gelandangan. Satu isu yang merupakan kesinambungan dan berhubung rapat dengan isu-isu yang telah Larkin bangkitkan tadi iaitu perumahan dan lambakan tenaga kerja pekerja di Singapura. Ingin Larkin maklumkan di sini atas permasalahan gelandangan yang berlaku di sekitar Bandaraya Johor Bahru, ini adalah sesuatu yang unik. Tiada rekod terperinci dan terkini boleh diperolehi dari jabatan mahu pun kementerian yang berkaitan berhubung perkara itu untuk dijadikan sebagai rujukan.

Oleh itu, Larkin mengambil inisiatif dengan turun padang bagi tujuan melakukan tinjauan secara langsung selain mengumpul maklumat dari aktivis mahupun kumpulan NGO tempatan turut dijalankan. Berdasarkan hasil tinjauan serta kaji selidik yang telah dilakukan iaitu satu trend dengan izin, yang unik telah dicetuskan oleh gelandangan di Bandaraya Johor Bahru ini. Apa yang ingin Larkin kongsikan di sini daripada 100 orang gelandangan

yang telah ditemui dan didekati, 50% daripada gelandangan tersebut adalah mereka yang mempunyai pekerjaan iaitu gelandangan transit.

Speaker

Banyak lagi ke Yang Berhormat? Masa dah habis ini. Gulunglah, minta gulung.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Sikit lagi. Di mana mereka menjadikan tempat-tempat awam sebagai hotel penginapan mereka. 30% dari jumlah tersebut adalah mereka yang menghadapi isu perumahan dan baki 20% merupakan, adalah terdiri daripada mereka mempunyai masalah emosi dan penagihan dadah. Demi mewujudkan kembali daya saing ekonomi negeri Johor khususnya dalam bidang pelancongan, Larkin ingin mengesyorkan agar pihak kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan dapat memberi penekanan sewajarnya dan mengambil inisiatif bagi menyelesaikan isu berkenaan. Sebuah pelan atau mekanisme perlu dirangkakan dan dilaksanakan.

Ok, Yang Berhormat Tuan Speaker, yang terakhir.

Speaker

Ha, akhirnya.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Perkara yang akhir ingin Larkin bangkitkan adalah isu pemilikan tanah dan kediaman. Sebagai individu yang diberi mandat oleh rakyat dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang maju, sejahtera dan harmoni, Larkin dengan tegasnya ingin mengesyorkan agar status Hak Milik di kawasan Larkin Jaya dan Kampung Melayu Majidee dapat diberi pertimbangan untuk ditukar menjadi Hak Milik Kekal Rizab Melayu. Mengganti dari status pajakan yang hanya tinggal jangka masa 40 tahun lagi. Ini harus diberi perhatian memandangkan kawasan ini masih tetap terpelihara dengan baik, infrastruktur yang tersusun, selain daripada itu kerajaan negeri akan berpeluang untuk mengenakan premium ke atas peralihan status tanah daripada pajakan ke Hak Milik Kekal.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sekian sahaja ucapan serta permasalahan yang dibentangkan oleh Larkin. Larkin berharap kerajaan negeri Johor akan dapat memberi pertimbangan yang serius terhadap isu dan perkara yang telah Larkin ketengahkan. Larkin juga berharap agar kerajaan negeri Johor dapat melaksanakan tindakan yang sewajarnya bagi menangani permasalahan yang telah diutarakan. Larkin yakin dengan barisan kepimpinan pentadbiran yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor serta kepimpinan kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat, dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan efisien berbanding kerajaan sebelum ini. Akhir kalam, Larkin berharap semua Ahli Yang Berhormat dapat bekerjasama dan berganding bahu bagi menangani semua permasalahan masyarakat selain menggembleng usaha dalam menjana kembali ekonomi negeri Johor serta melahirkan sebuah masyarakat yang mampan. Larkin menjunjung kasih dan menyokong penuh titah yang telah diamanahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, dengan ini Larkin memohon untuk mengundur diri. Sekian, wabilahhitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih Larkin. Seterusnya Yang Berhormat Pulai Sebatang.

Tuan Muhammad Taqiuddin bin ChemanAMANAH · PHPulai Sebatang

Bismillahirahmaannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, pertama sekali Pulai Sebatang ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker, kerana memberi laluan kepada Pulai Sebatang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan titah menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Pulai Sebatang ingin merafak sembah menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah berkenan merasmikan sesi Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Penggal Ke-14 pada tanggal 9 Ogos yang

lalu. Pulai Sebatang juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah di atas pelantikan Yang Berhormat Tuan Speaker dan Puan Timbalan Speaker. Sekalung tahniah juga kepada Menteri Besar Johor dan Ahli MMK yang baru kerana begitu komited dalam memastikan 10 janji manifesto Pakatan Harapan Johor dapat ditunaikan sebelum tibanya 100 hari. Syabas dan tahniah juga kepada seluruh Ahli Dewan Negeri yang telah diberi mandat oleh rakyat pada 9 Mei 2018. Gelombang tsunami yang telah melanda negeri Johor menjadi simbol bahawa rakyat Johor nekad untuk bernaung di bawah lembayung barisan kepimpinan yang baru. Menagih harapan agar kerajaan ini dapat menjamin kesejahteraan hidup dan mengangkat kembali martabat Bangsa Johor di Malaysia, memaknai semangat Malaysia baru.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan berpegang teguh dengan prinsip urus tadbir yang baik atau good governance dengan izin, dengan aspirasi untuk mengangkat nilai transparency dan juga integriti di dalam pentadbiran. Tekad Pakatan Harapan juga adalah untuk mengurangkan ketirisan dan menghapuskan rasuah. Hasrat kita adalah untuk melihat agar negeri Johor yang makmur ini dapat dibangunkan dengan memanfaatkan sebaiknya sumber alam yang dianugerahkan agar hasilnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat tanpa sedikit pun menzalimi hak alam. Ia sejajar dengan kalam Allah agar kita dapat membina sebuah negara yang di sebut sebagai (bacaan ayat al Quran). Di bawah semangat Malaysia baru, kita lihat kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan juga sebaik mungkin untuk menerapkan nilai keadilan dan kesaksamaan kepada semua pihak. Ini bermakna naratif perbincangan kita bukan lagi berkisar “us vs them” maksudnya itu kumpulan aku, itu kumpulan engkau. Kerana itulah saya di sini mengambil kesempatan untuk memuji pendekatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang memberikan peruntukan kepada pembangkang, ini adalah landskap politik baru negeri Johor di mana pembangkang juga turut mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri. 10 hari selepas kemenangan Pakatan Harapan, kerajaan negeri terus mengorak langkah dengan menghapuskan terus Kuota Menegak Kerajaan yang sebelum ini tampak memberi kelebihan kepada kroni Barisan Nasional terutamanya dalam projek Rumah Mampu Milik Johor. Walaupun kita hari ini cuba digambarkan sebagai tidak telus dalam proses pemilihan Ketua Kampung, tetapi Kuota Menegak Kerajaan ini ibarat sudah terang sangat tidak perlu bersuluh lagi bahawa ianya memberi kelebihan kepada kroni.

Yang Amat Berhormat Tuan Speaker, izinkan Pulai Sebatang sekali lagi memuji langkah terbaru kerajaan negeri yang memberi kursus Pra Perkahwinan percuma. Ia mendapat maklum balas yang sangat positif daripada golongan muda yang merancang untuk berkahwin dalam masa yang terdekat. Ini satu usaha yang mesra orang muda dan memudahkan urusan mereka. Kenapa saya menyebut semua perkara ini? Kerana inilah beza Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Bukan soal polisi ekonomi, siapa yang paling hebat? Bukan soal program siapa paling hebat, tetapi roh dan semangat mengangkat nilai keadilan dan kesaksamaan itu yang diinginkan oleh rakyat. Kerana itulah jujur bila kita berbicara kalau benar agenda rakyat yang ingin kita angkat, ketepikan seketika soal ini program Barisan Nasional, ini kami yang mula dahulu. Kita main peranan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab dan akauntabiliti kerana kerajaan akan gubal polisi manakala pembangkang menjadi agen semak imbang yang konstruktif.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pemerkasaan belia. Pelantikan Ahli Parlimen Muar yang merupakan paling muda dalam sejarah sebagai Menteri Belia dan Sukan, memberi signal bahawa Malaysia sudah mengorak ke sebuah dimensi baru iaitu satu bentuk pengiktirafan kepada golongan belia bahawa belia mempunyai potensi yang cukup besar dalam menentukan hala tuju negara. Jika sebelum ini anak muda Malaysia hanya menelan air liur, membaca keratan Justin Trudeau dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 44 tahun, kemudian Emmanuel Macron yang usia 40 tahun diangkat sebagai menjadi Presiden Perancis, kini kita boleh berbangga bahawa anak muda Johor telah melakar sejarah menjadi menteri paling muda di Malaysia.

Speaker

Yang Berhormat bersedia ke menjadi Menteri Besar Johor? Pada usia muda?

Tuan Muhammad Taqiuddin bin ChemanAMANAH · PHPulai Sebatang

Insya-Allah, (Dewan ketawa).

Speaker

Lemah je.

Tuan Muhammad Taqiuddin bin ChemanAMANAH · PHPulai Sebatang

Justeru, saya menyambut baik untuk mewujudkan sidang DUN Belia bagi memberi satu platform kepada anak muda Johor untuk sama-sama menggarap idea, menggubal polisi yang baik untuk kerajaan negeri Johor. Sebelum ini, kita maklum berkenaan dengan kewujudan Parlimen Belia, namun saya percaya inisiatif penubuhan sidang DUN Belia ini bukan hanya membuka ruang kepada anak muda mengasah bakat selaku policy maker dengan izin, tetapi memberi seribu makna dan manfaat kepada kerajaan negeri hari ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, di samping itu juga perlu ada ruang kepada bakat-bakat muda yang lain untuk menonjolkan kemampuan mereka. Kita bersyukur kerana negeri mempunyai pelan pembangunan bola sepak yang terbaik bukan hanya di Malaysia saya kira bahkan di Asia Tenggara. Namun, bagaimana pula dengan sukan lain? Saya mencadangkan agar Jawatankuasa Belia Negeri Johor cuba untuk menggalakkan penglibatan belia dalam e-sport. Di Eropah, e-sport telah lama bertapak, tetapi di Malaysia Majlis Sukan Negara baru sahaja berkira-kira untuk menubuhkan unit sukan elektronik. Buat pengetahuan sidang Dewan, e-sport akan menjadi salah satu antara yang dipertandingkan di Sukan Asia 2022, di Guangzhao dan Perancis juga sedang mempertimbangkan untuk memasukkan acara e-sport ini pada sukan Olimpik Paris 2024. Justeru, saya kira peluang ini perlu diambil agar Johor dapat menjadi pusat melahirkan bakat sukan elektronik ini.

Yang Amat Berhormat Tuan Speaker, galakkan kepada belia untuk terlibat aktif dalam pertubuhan belia juga perlu digiatkan lagi. Golongan belia perlu didedahkan dengan pengurusan organisasi dan di sinilah kita dapat melahirkan pelapis pemimpin masa hadapan. Ibarat kata ‘ Bapa Mohamad Nasir, pemimpin itu tidak lahir di bilik-bilik kuliah, tetapi lahir di kancah masalah dan kesanggupan untuk keluar daripada kepompong rakan sebaya. Justeru, melalui penglibatan dalam pertubuhan ini, mereka dapat belajar mengenai problem solving, dengan izin, kemahiran pengurusan dan juga pemikiran strategik. Namun, harus diingati bahawa pertubuhan belia tidak boleh menjadi platform peribadi yang menjadi hak milik satu pihak sahaja.

Yang Amat Berhormat Speaker, Pulai Sebatang, gerbang pembangunan Pontian. Jika kita teliti kembali titah Tuanku, bahawa kita perlu mengambil serius dalam hal pengurusan sumber alam bagi menjamin kesejahteraan generasi akan datang. Jadi, saya ingin menarik perhatian sidang Dewan tentang potensi yang ada di Pontian. Ya, Tuan Speaker, di Pontian bukan sahaja ada saya selaku ADUN, kita juga di Pontian beruntung kerana Menteri Besar negeri Johor dilahirkan di Pontian, YB EXCO Pelancongan juga berasal daripada Pontian, malah Ketua Pembangkang kita juga berasal daripada Pontian. Pontian adalah suatu daerah yang kaya dengan hasil laut sepertimana yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Asas Tani. Pontian akan dibangunkan menjadi hab kerang-kerangan. Namun saya melihat Pontian juga harus dibangunkan dengan institusi pendidikan. Jika kita ke Batu Pahat, kita dapat melihat keindahan UTHM, dan ITHO, jika kita ke Muar, kita dapat lihat gahnya hab pendidikan di sana. Johor Bahru itu tak perlu kita cerita, macam-macam institusi pendidikan. Kalau kita ke Kluang, mereka bangga dengan ada Institusi Tadbiran Awam Negara (INTAN), hatta, jika kita ke Segamat mereka megah adanya UiTM, tetapi kami di Pontian hanya ada cawangan OUM sahaja. Justeru kerana itulah saya fikir perlu ada satu cawangan universiti yang boleh membantu meningkatkan hasil laut, dan projek penyelidikan bakau ataupun berkaitan perikanan dan pertanian. Selain itu, Pulai Sebatang juga boleh dijadikan sebagai pusat penyelidikan kerang dan kupang. Pulai Sebatang melihat kemajuan sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung kepada pembangunan material, tetapi juga pembangunan modal insan. Barulah ia menjadi sebuah pembangunan yang seimbang dan mampan, baik aktiviti ekonominya serta cukup sumber manusia yang menguruskannya. Itulah harapan Pulai Sebatang kepada Pontian. Pontian

harus dibangunkan dengan modal insan yang dapat mengangkat daerah ini setanding dengan daerah lain. Bak kata pepatah ‘biar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi; barulah kita dapat lihat kesan jangka panjang dalam kemajuan Pontian. Apakah kesannya jika Pontian dapat membangunkan modal insan yang cukup selari dengan pembangunan material? Kita akan dapat mengurangkan masalah penghijrahan anak-anak muda ke bandar besar. Peluang pekerjaan yang cukup juga dapat mengurangkan masalah, brain drain, dengan izin.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, juga dalam satu lawatan kerja rasmi beliau ke Pontian, ada menyebut bahawa Pontian ini juga bukan lagi sekadar daerah perikanan dan pertanian bahkan kedudukan yang hampir dengan Johor Bahru hingga ada sebahagian kecil di daerah Pontian diletakkan di bawah Wilayah Iskandar Malaysia, membuka ruang kepada Pontian untuk menerima limpahan ekonomi dan pembangunan sekitar.

Justeru, saya berharap agar kerajaan negeri boleh mempertimbangkan bukan hanya sebahagian kecil sahaja, bahkan keseluruhan daerah Pontian diletakkan di bawah Wilayah Iskandar. Ianya memungkinkan yang Pontian akan datang muncul sebagai daerah yang maju di dalam negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu Pulai Sebatang juga berharap agar projek jambatan Pontian Kechil dapat dikaji semula, berikutan terdapat bantahan daripada pihak nelayan. Permasalahan serangan cacing kapang di jeti bot, pusat nelayan dan Pusat Perdagangan Pontian juga masih tiada penyelesaian yang tuntas. Lebih buruk lagi kesan daripada projek ini juga ada laluan muara sungai yang akan menjadi sempit dan mengakibatkan kawasan Kg. Persisir dan Taman Kenanga senang dilanda banjir. Dengan keadaan sekarang pun, projek ini tanpa pengecilan muara, bila hujan 2 hari berturut-turut, air sudah naik menjadi banjir. Apakah lagi bila dengan projek jambatan yang mengakibatkan pengecilan muara sepanjang 100 kaki ini? Saya kira dengan hujan yang tidak berhenti dalam satu hari pun menyebabkan banjir akan berlaku di persisir di Kampung Persisir dan Taman Kenanga. Sebab itu kalau saya minta untuk pihak kerajaan dapat melihat satu pembangunan itu perlu dikaji, adakah ianya memberi impak positif atau negatif kepada rakyat.

Tuan Yang Berhormat Speaker, 100 hari Pakatan Harapan. Kurang lagi 3 hari genap 100 hari Pakatan Harapan menjadi kerajaan, baik di persekutuan mahupun negeri ini. Dateline 100 hari ini menandakan permulaan gerak kerja yang lebih serius, baik dari kerajaan mahupun pembangkang.

Speaker

Masa ada 2 minit lagi ya Yang Berhormat.

Tuan Muhammad Taqiuddin bin ChemanAMANAH · PHPulai Sebatang

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Sebarang kejayaan yang telah dicapai dalam tempoh 100 hari yang lepas, bukan satu alasan untuk kita berhenti rehat kerana masih ada agenda yang perlu difikirkan dan dilaksanakan demi menjamin kesejahteraan rakyat Johor. Cabaran di dalam titah menjunjung kasih Tuanku supaya mencapai lebihan hasil atau surplus, agar mempunyai rizab simpanan di masa hadapan juga perlu dicernakan sebaik-baiknya.

Akhirnya, saya ingin mengajak sidang Dewan untuk kita hayati dan renungi tanggung jawab dan amanah yang begitu berat, untuk digalas dalam tempoh 5 tahun ke hadapan. Semoga kita sentiasa ingat 2 pesanan yang cukup hebat ini, hadis riwayat Ibnu Umar, ‘setiap manusia itu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggung jawabkan terhadap apa yang diamanahkan’. Kedua, great power comes with a great responsibility, saya akan terus bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli MMK Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk memajukan negeri Johor yang tercinta ini. Sekian, perbahasan menjunjung kasih Pulai Sebatang pada hari ini.

Speaker

Terima kasih kepada Yang Berhormat Pulai Sebatang. Ada permintaan daripada Rengit, Rengit semalam ada keuzuran, dia mintak pada hari ini. Silakan Rengit.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Assalammualaikum waramatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terlebih dahulu saya nak ambil kesempatan, kerana Yang Berhormat Tuan Speaker bagi saya peluang untuk turut sama dalam perbahasan pada hari ini. Dan saya ingat dah tertinggal, tapi nampak jelas bukti Speaker ini memang betul-betul adillah ya. Terlebih dahulu saya ambil kesempatan menjunjung kasih, nak turut sama dalam perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor bagi Dewan Yang Ke-14. Sesungguhnya titah Baginda Tuanku perlu kita hayati, dan perlu kita taati, kerana baginda merupakan payung bagi negeri Johor yang makmur lagi sejahtera ini. Di Johor ini, Yang Berhormat Tuan Speaker, ni berbeza. Dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, semua kuasa,di negeri Johor adalah terletak di tangan Raja. Baginda mahu Dewan Negeri Johor menjadi platform atau forum membahaskan apa jua isu rakyat. Di samping platform merencana masa depan Johor yang lebih gemilang. Bukan pentas ataupun platform untuk menonjolkan imej vokal yang tidak berperaturan, atau nak menonjolkan imej seperti sarkas yang bertujuan untuk mencari publisiti murah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, di kesempatan yang terhad ini, saya nak ucapkan tahniah kepada Penggaram. Sebab hari tu tak sempat nak bagi ucapan tahniah kepada Penggaram. Penggaram ini sahabat saya separlimen. Saya ingat, Yang Berhormat Penggaram ini akan jadi EXCO, sebab dia ketua pembangkang, yang lepas. Rupa dia dipilih sebagai Timbalan Speaker. Kita ucapkan tahniahlah, itu pun lagi baik. Sebab yang dulu ketua pembangkang dulu, Dr. Boo. Dia mana pergi ye? (Dewan ketawa)

Speaker

YB.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Saya kesian dia.

Speaker

YB, YB nanti whatsapplah, personal whatsapp kat dia (Dewan ketawa).

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Berwhatsapp ya? Ok. Saya nak ucap tahniah pada Penggaram ni. Sebab dia seorang ahli politik yang, wanita yang kental, 7 kali bertanding, Yang Berhormat Penggaram betul-betul, 7 kali, 2 kali menang, 5 kali kalah, di kawasan yang sama.

Speaker

Ini jek ada apa-apa ke ni?

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Tak ada, tak ada apa-apa. Sebab sahabat, rakan. 2 kali menang tu 2013 lawan King. 2018, menang, kali kedua lawan Kang (Dewan ketawa) Betul ye? Dr King dan Mr. Kang. Dia menang kerana lawan King dan Kang. (Dewan ketawa). So, tahniahlah kepada Penggaram yang menang, lawan King dan Kang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Pilihan Raya ke-14 menyaksikan dan membuktikan bahawa demokrasi di Malaysia ni subur Yang Berhormat Tuan Speaker. Demokrasi di Malaysia dah memasuki fasa matang, dan demokrasi di Malaysia juga, hari ini beralih ke tahap yang lebih baik, Yang Berhormat Tuan Speaker. Pilihan raya Ke14 juga, menyaksikan peralihan kuasa berjalan dengan baik dan teratur. Peralihan kuasa diserahkan kepada kerajaan baru ni dengan tertib tanpa sebarang cerita yang mempersulitkan urusan kerajaan baru. Malah Yang Berhormat Tuan Speaker, semasa kempen pilihan raya, dan juga hari mengundi, kita tak dengar pun sebarang kejadian-kejadian buruk yang tidak diingini. Berbanding dengan negara-negara lain yang seangkatan dengan kita, seumur dengan kita. Banyak kejadian yang tak diingini, pertumpahan darah dan sebagainya. Berbeza dengan kita. Ini kita kena syukur. Kita kena bersyukur. Dengan nikmat peralihan kuasa yang cukup baik yang diserahkan oleh BN kepada Pakatan Harapan. Dan kita nak bantu pun Pakatan Harapan. Kalau ada teguran-teguran nakal sikit tu, terimalah ya.

Speaker

Yang Berhormat, Yang Berhormat bersyukur tak jadi pembangkang?

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Yang duduk di sini. Bersyukur apa sahaja yang ditentukan Tuhan, adalah yang terbaik untuk kita. Betul tak?

Speaker

Alhamdulillah.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Betul tak? Jadi Yang Berhormat Tuan Speaker, saya masih ingat lagi keputusan pilihan raya, PRU yang ke 13, bila rakyat beri mandat kepada Barisan Nasional, apa yang berlaku? Orang tuduh kita Barisan Nasional buat penipuan kotak undi, betul tak? Bawa Bangladesh 40,000, masa hari mengundi. Lampu padam, disusuli dengan gerakan demonstrasi seluruh dunia, pakai baju hitam, nyalakan lilin, bahawa dia nak beritahu dunia tidak wujud demokrasi sebenarnya di negara kita. Tapi Yang Berhormat Tuan Speaker, hari ini keputusan Pilihanraya 14, kita serah dengan baik. Kerajaan yang kita dah tadbir 60 tahun ini kepada PH. Buatlah, tadbirlah negara ini dengan baik, uruskan secara baik, secara yang dikehendaki dan boleh membantu rakyat, Yang Berhormat Tuan Speaker.

Pilihan raya kali ini juga, menyaksikan janji-janji yang cukup hebat. Ini rekod dalam dunia dan saya jangka, saya jangkalah, akan dapat Anugerah Guiness World Of Record, kita tunggu bila. Sebab, menjadi perhatian seluruh dunia, media masa antarabangsa bertanya kepada seorang menteri, bolehkah dia selesaikan dalam seratus hari? Dia menjawab pun dah tak tentu arah, dah tinggal berapa hari? Pulai Sebatang kata tadi 3 hari. Kalau ikut Sri Medan cakap berapa ratus minit, saat?

432,000.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

432,000 saat. Apa tidaknya, semua free. Siapa yang tak terliur dengan janji ini? Saya pun terpesona. Dengar cerita, tol free, FELDA punya hutang peneroka free, betul tak? PTPTN free, semua free, minyak turun, RON95 kepada RM1.50, eh! Speaker pun…. Speaker kat sana ye, masa tu. Siapa yang tak terliur, tak terpesona dengar janji-janji manis ini Tuan Pengerusi. Itu sebab, salah satu sebab, kita terima hakikat, BN dihukum kerana janji manis Pakatan Harapan. Tapi, kita doakan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari ini, yang tinggal 3 hari, 432,000 saat, kena selesaikan, kalau tak kena jawab! Ini janji tuan-tuan sebab tak pernah dalam dunia dan dalam sejarah kita mentadbir negara 60 tahun ini, tak pernah janji semua free. Walaupun kerajaan PH di peringkat negeri tak janji yang macam itu, tapi kerana tuan-tuan yang di depan ini semua adalah juga penjaja kepada janji-janji tersebut, tuan-tuan juga bertanggungjawab! Dulu kita dekat sana, dia orang belasah kita kerana hal-hal pusat. Padahal negeri kita, Yang Berhormat Tuan Speaker, hebat! Kita bangunkan negeri Johor, kita ada rizab yang besar. Tapi, kita tanggung juga hal ehwal yang dikemukakan atau yang di create oleh pusat. Jadi, tuan-tuan yang dekat depan ini tanggung juga, sebab tuan-tuan juga pendokong dan juga penjaja kepada janji manis. (Dewan bertepuk). Saya ditanya oleh rakyat saya, pengundi saya, dia yang menyokong, dia pun sokong. Apa tak YB, siapa tak suka anak dia PTPTN habis. Tak payah bayar. Sekarang ini, Pakatan Harapan dah buat pusingan, pusingan harapan. Dia dah buat pusingan ini, dulu pakatan sekarang dah jadi pusingan harapan. Dia kata, kerajaan lama punya masalah dia tak selesaikan janji dia, betul tak? Senang saja jadi macam itu, mana boleh! Tuan-tuan dah janji, buatlah!

Yang kedua kata dia, apa dia cakap? Manifesto bukan kitab suci. Dah 4 minit, Tuan Pengerusi. (Dewan ketawa).

Speaker

Tau tak apa. (Dewan ketawa).

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Kawan saya cakap Yang Berhormat, bila dia orang nak selesaikan masalah ini? Dia cakap, kalau Pakatan Harapan tak boleh selesai ini, tukar sajalah nama Pakatan Harapan, jadi pakatan helah, nak menyelesaikan diri.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam tempoh 100 hari juga ini, kita dengar berbagai-bagai perkara. Pertama, ialah kerana ghairah sangat, saya tak tau ada dakwaan mengatakan bahawa Bank Negara hilang RM66 bilion kerana nak menampung kejatuhan Ringgit pada paras RM4.50. Itu dakwaan, kita ingin penjelasanlah kalau Dewan Negeri boleh kemukakan?

Kehilangan RM2 bilion satu hari, KHAZANAH punya saham kawalan. Penarikan keluar modal asing daripada bursa saham tempatan, kehilangan RM3 bilion, kutipan GST bila tax free, 3 bulan ini Yang Berhormat Tuan Speaker. Lain lagi? Lebih kurang 100 hari, kira campur tolak, RM90 bilion kerajaan Pakatan Harapan hilangkan duit. RM90 bilion, maknanya jawablah esok. Dah la janji tak tunai! Hilang lagi duit! Ha, jawab! Penggaram boleh jawab ke? (Dewan ketawa).

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya nak sebutkan satu lagi yang mengguris perasaan kita ialah dalam tempoh 100 hari ini ialah perkara-perkara yang menjadi asas pembentukan perlembagaan negara, yang menjadi kontrak sosial, mula dipertikai tanpa segan silu, Yang Berhormat Tuan Speaker, tanpa segan silu. Saya beri contoh, soal raja berperlembagaan yang menjadi asas kepada kontrak sosial, yang menjadi asas kepada perlembagaan negara, dah dipertikai! Mudah sangat dipertikai hal raja ini!

Kedua, agama Islam. JAKIM nak disiasat, AKSIM nak dibatalkan dia punya peruntukan. Macam-macam lagi! Dan bahasa Melayu diperlekehkan! Keempat, hak istimewa orang Melayu, hak istimewa orang Melayu pun mula dipertikai, dikesampingkan ke sana ke sini, Yang Berhormat Tuan Speaker.

Jadi, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya sebutkan semua perkara ini kerana ini boleh mengganggu, menggugat perpaduan yang kita bina 60 tahun ini, bukan senang! Tapi dalam masa 100 hari, dah mula berlaku percikan bara-bara api terhadap perpaduan kaum di negara kita. Ini kalau tak dikawal Yang Berhormat Tuan Speaker, akan memberi kesan kepada negara dan masa depan negara, Yang Berhormat Tuan Speaker.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya sebutkan tadi bahawa kita ingin bantu, ADUN Benut pun dah cakap, kita akan bantu kerajaan, tapi kalau kita beri cadangan, contoh, saya beri cadangan pasal air, saya nak pendekkan ucapan, tinggal 1.16 minit saja.

Kita beri cadangan supaya kepentingan strategik negeri ini, kerajaan milik negerikan, kerana kalau kita diberi peluang hari itu, kita nak ambil balik semua, Syarikat Air Johor ini. Ini kepentingan strategik negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Speaker, kita ada duit. Sebab itu saya tegaskan berkali-kali supaya ambil, sebab kepentingan atau pun share kita dalam syarikat ini terlalu kecil, cuma 20%. Dan amat membimbangkan kalau-kalau berlaku perpindahan saham ini kepada syarikat milik asing. Ini akan berlaku malapetaka besar kepada negeri kita. Sebab itu, saya minta, Bukit Batu dulu pun kuat membicarakan soal ini, buat satu laporan khas, bentangkan dalam Dewan yang mulia ini. Apa perancangan pelan komprehensif kerajaan negeri terhadap isu industri air di Johor dan apa pelan bisnesnya? Kita bukan tak ada duit, ada, tapi kita perlu ambil perhatian, Yang Berhormat Tuan Speaker, supaya industri ini yang memberi keselesaan hidup kepada rakyat akan dapat kita pertahankan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menepati masa, saya tak nak lebihlah, walaupun ada banyak perkara yang nak saya sampaikan, saya cuma nak akhiri ucapan saya ini, kepada sahabat-sahabat saya di sanalah, di seberang sana, dengan rangkapan pantun untuk tatapan, rangkapan pepatah Melayu untuk sahabat di sana, walaupun tidur sebantal, tapi mimpi lain-lain.

Speaker

Ada mimpi sama ke masa tidur itu?

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Ada, memang ada, Tuan Speaker pun pernah mimpi sama dulu, saya nampak. (Dewan ketawa). Jangan sangka air yang tenang, tak ada

buaya. Bukankah kita ada pengalaman? Ada kisah catitan dalam sejarah, orang seberang sana, bila dia dah sampai seberang, tongkat dilepaskan.

Speaker

Ini pantun ke ceramah ini?

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Pepatah sebenarnya.

Speaker

Oh pepatah, saya ingat pantun tadi.(Ketawa).

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNRengit

Bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sekilas ikan di air; sudah ku tahu jantan ataupun betina. Dan meminjam kata Bukit Permai, jangan sampai kerajaan PH ini, ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih kepada Yang Berhormat Rengit ya. Saya kira banyak hujah-hujah yang disebut itu, saya sebenarnya teringin nak menjawab, ialah tapi tak boleh jawab duduk tengah-tengah ini, itu masalah itu. (Ketawa). Ok, seterusnya persilakan daripada Tangkak untuk menyampaikan perbahasan, dipersilakan.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih. Selamat tengah hari, salam sejahtera, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana mengizinkan Tangkak untuk menyertai dalam rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia, sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Johor Yang ke 14. Sebenarnya Tuan Speaker, Tuan Speaker boleh juga menjawab, mencelah, tak salah tapi cuma masalahnya..

Speaker

Mencelah itu soalan saja, tak boleh buat …

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ya, itulah masalah, jadi saya mintalah mengikut peraturan mesyuarat yang ada sekarang ini, mungkin kita bincang untuk menangguhkan perkara bilangan yang menghalangkan pencelahan tersebut. Biar orang boleh sampuk, boleh tanya soalan, boleh Tuan Speaker? Kalau biarkan, sokonglah, kalau tidak, Speaker saja yang dapat tanya, tak adil. Kita nak sampuk, nak tanya pun tak beri peluang. Saya nampak pun Ketua Pembangkang pada dua, tiga hari yang lalu ini, asyik nak berdiri untuk bertanya, tapi tak dapat. Itulah, perasaan kita dalam 5 tahun yang lalu itu, nak tanya tak boleh! Sekatan, peraturan mesyuarat. Jadi, kami sama-sama menambah baik, mengelakkan yang tiada peluang untuk mencelah.

Speaker

Kalau kita buat mencelah, lepas itu tambah masa jadi seminggu persidangan, boleh ke?

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Boleh, tak apa, tugas kitalah untuk membincang masalah-masalah dan isu-isu yang penting di dalam Dewan ini. Kalau tidak pun datang sini, nak tanya tak dapat, lepas itu pakai whatsapp, kadang-kadang EXCO atau ketua jabatan pun sibuk nak balas dengan whatsapp. Dekat sini kita ada minit, ada verbatim, senang nak rujuk Tuan Speaker.

Pertama, Tangkak ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakyat Johor kerana kerajaan negeri yang mereka pilih dalam Pilihanraya Umum Yang Ke 14, telah menunjukkan kemampuannya dalam menunaikan janji-janji dalam masa 100 hari. Syabas! Tangkak ingin mengucap kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua jabatan dengan semua kakitangan-kakitangan kerajaan atas usaha mereka sepanjang masa ini.

Selain daripada janji 10 janji 100 hari yang telah diluluskan dan dilaksanakan, Dewan Negeri bawah pentadbiran, kerajaan negeri bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan Johor, juga buat pertama kali mengiktirafkan kedudukan ketua pembangkang dengan memberi

elaun tambahan bulanan dan juga menyediakan sebuah pejabat di dalam bangunan Dewan Negeri serta kita juga menyalurkan peruntukan untuk setiap ADUN-ADUN pembangkang.

Kedua-dua perkara ini tidak pernah pun, ataupun tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan lama walaupun telah 61 tahun mereka mentadbir dan kejayaan ini telah kerajaan Pakatan Harapan capai dalam tempoh 100 hari pertama, syabas. Dalam sesi perbahasan sepanjang 4 hari ini, ramai ADUN-ADUN terutama dari pihak pembangkang telah membangkitkan pertanyaan mereka terhadap Manifesto Pakatan Harapan Johor. Nampaknya, mereka sangat menanti-nantikan kejayaan kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor dalam menunaikan janji-janji pilihan raya ataupun Tuan Speaker, ataupun disebabkan pengalaman mereka dalam kerajaan dulu yang selalu memungkirkan janji, itu kita tak tahulah.

Tangkak ingin mengingatkan ADUN-ADUN pembangkang di Negeri Johor jangan ada sangka buruk terhadap kerajaan Pakatan Harapan. Memandangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang baru-baru ini akan, tidak akan mengikut jalan lama kerajaan Barisan Nasional. Kami bukan sahaja akan menambahbaikan polisi-polisi yang sedang dijalankan. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan melaksanakan apa yang baik dan yang memanfaatkan rakyat dan negeri Johor. Mesej yang dibawa oleh majoriti pengundi dalam pilihan raya umum adalah jelas bahawa mereka mahu kerajaan Pakatan Harapan membawa nafas baru kepada pentadbiran negeri dan negara. Oleh itu, saya nak, saya nak mengingatkan semua yang berada di sini terutama kerajaan, pihak kerajaan Pakatan Harapan supaya dari sekarang, dari hari ini ataupun sejak 3 bulan lepas, kita harus merancang, mengkaji dan melaksanakan semua perkara-perkara, polisi-polisi yang baik untuk rakyat dan negeri kita.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Parit Raja dalam ucapan perbahasan beliau telah melahirkan kebimbangan terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu, UEC akan mewujudkan jurang antara kaum yang bertentangan dengan perpaduan kaum. Untuk makluman Dewan yang mulia ini dan juga kepada Yang Berhormat Panti dan juga Yang Berhormat Rengit, kegunaan bahasa bukannya faktor utama yang akan menjejaskan perpaduan antara kita. Keistimewaan Malaysia adalah kerana Malaysia mempunyai pelbagai kaum, pelbagai budaya dan juga pelbagai bahasa. Tambahan lagi salah satu syarat yang telah ditetapkan oleh Pakatan Harapan bagi mengiktirafkan Sijil UEC, sebagai kemasukan ke institusi tinggi, institusi pengajian tinggi awam, IPTA adalah pemohon harus mempunyai kelulusan kredit dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini jelas, jadi bagi mereka yang bimbang, jangan risau sebab Pakatan Harapan masih mengiktirafkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan kepada pihak-pihak yang membantah tentang pengiktirafan Sijil UEC dan juga kepada rakan saya Yang Berhormat Rengit tadi, yang telah banyak bangkit tentang isu manifesto, bacalah dengan teliti Manifesto Pakatan Harapan ini. Bacalah isi kandungan yang telah ditulis, setiap perkataan dalam manifesto, jangan baca tajuk sahaja, Yang Berhormat Tuan Speaker.

Kepada Yang Berhormat Rengit, saya rasa, saya boleh faham kenapa semasa pengkajian untuk menyiaran langsungkan Dewan ini timbul banyak kebimbangan dan kerisauan, Tuan Speaker. Apa yang dikata oleh Yang Berhormat Rengit tadi, tidak betul semua, bilakah dalam Manifesto Pakatan Harapan kita ada mengatakan nak free kan ataupun percumakan PTPTN. Apa yang kita janji dalam manifesto bagi keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM4,000.00, pembayaran balik tersebut boleh ditangguhkan. Tetapi, apabila pendapatannya capai melebihi RM4,000.00, baru bermula bayar.

Kedua, Pakatan Harapan pun tidak pernah menjanjikan harga minyak RON95 di tetap pada harga RM1.50, dari mana manifesto tu, Yang Berhormat Rengit nampak, kita tetapkan, kita janji, kita akan menstabilkan harga bahan bakar, harga minyak.

Oleh itu, Yang Berhormat Tuan Speaker…

Speaker

Saya ingat, saya ingat Rengit sebut, daripada pengundi-pengundi kat kawasan-kawasan itu lah menyebabkan pengundi menyokong Pakatan Harapan tu, dia salah maklumat tu kot.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Mungkin juga, mungkin juga. Tapi, perlu, perlu declaration, di kelarasi yang betul, jangan orang salah faham,Tuan Speaker. Jadi, saya balik kepada, kepada isu tadi, apa tu, peraturan mesyuarat ataupun pembaharuan dalam semua peringkat sistem kerajaan. Tuan Speaker sendiri juga telah banyak kali menyentuh tentang perkara-perkara pembaharuan ataupun reform di peringkat Dewan Negeri. Tangkak amat mengalu-alukan cadangan daripada Tuan Speaker, bahawa memang ada keperluannya untuk kita bersama-sama menaik taraf Dewan yang mulia ini ke satu era baru yang bersetaraf dan sesuai dengan keadaan zaman moden sekarang, terkini.

Tangkak juga sokonglah sepenuh dengan cadangan yang dibawa oleh Yang Berhormat Perling semalam mengenai siaran langsung dan mendigitalkan dokumen-dokumen Mesyuarat Dewan Negeri. Dengan dokumen-dokumen yang berdigital itu, mestilah lebih senang untuk ADUN-ADUN dan juga orang-orang awam untuk mendapatkan maklumat atau merujuk perkara-perkara yang telah di bincang dan diluluskan oleh Dewan Negeri Johor.

Cadangan yang sama juga telah banyak kali dibawa oleh Tangkak dalam lima tahun yang lalu, tetapi malangnya langsung tidak dilayan selain daripada wifi percuma dalam Dewan ini. Tapi tak apa, Tangkak berharap dapat bekerjasama dengan ADUN-ADUN yang berada di sini dan juga dengan kerjasama Tuan Speaker, dalam menjayakan kerja-kerja pembaharuan ini. Tangkak ingin mengusulkan supaya sejumlah peruntukan disediakan dalam bajet tahun 2019 supaya kerja-kerja pembaharuan dapat dilaksanakan supaya Jurutulis kita tidak pening kepala, kepada nak cari dana, cari peruntukan, Tuan Speaker.

Speaker

Tak tepuk pun? (Dewan bertepuk). Ha, ok.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ini usul juga dari Tuan Speaker, kena sokong, kalau tidak tinggal lima minit nanti. Ok. (Dewan ketawa). Tangkak mengalu-alukan…

Speaker

Bukan tinggal lima minit, tinggal dua minit tu. (Dewan ketawa).

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ingat boleh tambah sokong Tuan Speaker ni. Ok. Sesi soal jawab di Dewan Negeri Johor juga perlu dipanjangkan sebagaimana semalam dan hari ini ataupun Tangkak bercadang ia dapat dipanjangkan sehingga dua jam supaya lebih banyak soalan dapat ditanya dan dijawab dalam Persidangan Dewan yang akan datang nanti.

Yang Berhormat Tuan Speaker, mengenai juga dengan isu air. Tadi Yang Berhormat Rengit pun telah bercakap tentang isu air ni. Ada cadangan untuk membeli balik saham SAJ Ranhill, tetapi pandangan Tangkak adalah begitu. Kita tidak perlu membeli balik SAJ Ranhill sekiranya kita dapat mengawal kualiti pengurusan SAJ ataupun kualiti air yang disalurkan. Pihak pembangkang banyak membangkit bahawa minta kerajaan beli balik. Tapi, kalau nak beli balik, kenapa dalam tempoh 20 tahun yang lalu, dalam pentadbiran mereka, tidak langsung sebut pun nak beli balik. Jadi, Tangkak berpendapat tentang isu-isu perkhidmatan SAJ ini kita harus mencari pendekatan yang lebih senang ataupun mengguna pakai teknologi yang baru dalam menambahbaikkan industri air ini.

Isu yang kedua, iaitu mengenai sisa pepejal yang hangat di bincang oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat juga. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, dengan peningkatan populasi dan sisa pepejal sekarang, kebanyakan tapak pelupusan sampah telah pun mencapai had kapasitinya. Antaranya termasuk…

Speaker

Tinggal dua minit lagi Yang Berhormat ya, dua minit lagi.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ok. Antaranya termasuk Tapak Pelupusan Sampah Tangkak, Bukit Bakri, CEP Simpang Renggam dan Pontian. Dan antara, dan ada juga tapak pelupusan sampah yang telah membawa masalah pencemaran di kawasan setempatnya, di sekitar kawasannya. Oleh itu, tadi EXCO Kerajaan Tempatan juga telah membuat satu pengumuman kepada media bahawa kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri Johor telah bersetuju untuk menangguhkan kerja-kerja pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Payung. Oleh itu, kebanyakan tapak pelupusan sampah yang sedia ada ini, ada yang telah di naik taraf sebagai transit centre menghadapi masalah kerana sisa pepejal tersebut yang dicadangkan untuk dihantar ke TPS Bukit Payung ini telah tergendala.

Jadi, Tangkak dengan ini menyokong, menyokong cadangan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar pada bulan lalu, iaitu, kita boleh menghala ke sebuah sistem pelupusan sampah yang baru yang dipanggil sisa buangan kepada tenaga atau dengan izin, waste to energy. Teknologi yang memproses sisa buangan pepejal dan menukarkannya kepada baja, gas dan juga tenaga elektrik. Sebenarnya, kebanyakan negara maju sudah lama mengamalkan kaedah pengurusan sisa pepejal waste to energy seperti Switzerland, Jerman, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Singapura. Impaknya sangat baik bukan sahaja kepada negara itu sendiri, malah rakyatnya. Jadi, Tangkak ingin menyeru atau meminta kerajaan negeri Johor supaya mempercepatkan proses dalam pembinaan waste to energy ini supaya cara melupus sampah yang lebih bermesra alam ini dapat menampung peningkatan sisa pepejal.

Speaker

Mohon gulung Yang Berhormat.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ok. Yang Berhormat Tuan Speaker, mengenai ucapan perbahasan dari Yang Berhormat Semarang semalam, mengatakan macam Pakatan Harapan telah lupa tentang mengurangkan kos sara hidup rakyat. Saya nak balas sedikit dekat sini kepada Yang Berhormat Semarang dan juga Dewan yang mulia ini. Menurut jawapan yang diberi oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari pertama Persidangan Dewan di sini, kerajaan negeri melalui janji yang kita laksanakan dalam tempoh 100 hari ini, ada beberapa janji yang kita laksana, akan dan telah mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama bangsa Johor. Antaranya, pengurangan 50% tunggakan sewa PPR yang telah memanfaatkan sejumlah 30% penyewa PPR miskin. Kedua, air percuma 10 meter sepadu yang melibatkan kos RM22 juta.

Speaker

Akhirnya,

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Akhirnya. Ok. Ketiga, Skim Takaful Warga Emas yang melibatkan kos RM560,000.00 . Pengecualian lesen penjaja dengan RM2.1 juta . RM1.2 juta untuk kad sihat dan akhirnya Insentif Harapan Siswa dari RM750.00 kepada RM1,000.00. Kita faham ini masih belum cukup dan dalam masa hadapan kami percaya kerajaan Pakatan Harapan akan menangani masalah kos sara hidup secara berperingkat.

Sekian, Yang Berhormat Tuan Speaker, Tangkak menyokong usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Senggarang. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih, seterusnya Jementah.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Terima kasih Tuan Speaker. Salam sejahtera kepada semua Ahli Yang Berhormat dan juga semua penjawat-penjawat awam yang hadir pada mesyuarat pagi ini. Tuan Speaker, Jementah ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kesempatan diberikan kepada Jementah untuk mengambil bahagian dalam perbahasan rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena istiadat Pembukaan Rasmi Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Tuan Speaker, baru-baru ini di Parlimen telah ada satu pembongkaran yang amat mengejutkan oleh Ahli Parlimen Damansara berkenaan dengan wang 1MDB. Apakah

pembongkaran itu yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Damansara? Wang 1MDB telah disalurkan oleh 1MDB kepada parti-parti Barisan Nasional. Sebanyak RM470 juta, RM470 juta wang rakyat, wang 1MDB, wang kerajaan disalurkan kepada parti-parti komponen Barisan Nasional. Antaranya, UMNO mendapat RM417 juta.

Saya nak menanya kepada UMNO Negeri Johor, sama ada kah UMNO Negeri Johor mendapat saluran wang daripada 1MDB juga? Ada tak? Kalau ada mohon jasa baik UMNO Negeri Johor supaya memulangkan wang itu kepada kerajaan, kepada rakyat boleh tak? (Dewan bertepuk).

Tuan Speaker, negara kita sekarang sedang menghadapi satu krisis kewangan yang amat membimbangkan dengan hutang sebanyak RM1 trilion, RM1 trilion bersamaan dengan lebih kurang KDNK satu tahun negara kita. Begitu banyak wang yang perlu dihutang oleh kerajaan persekutuan. Perdana Menteri kita, Menteri Kewangan kita, semua Ahli-Ahli Kabinet sedang sakit kepala macam mana kita nak mencari wang untuk menutupkan lubang-lubang semua ini. RM1 trilion, bila nak bayar balik, nak naikkan cukai, mahu tak?

Yang Berhormat Speaker, Peraturan. Ucapan dalam bentuk pertanyaan yang diajukan kepada saya, kita tak ada ruang nak menjawab. Saya tak boleh buat penggulungan melainkan Yang Berhormat Speaker buat ruling saya ada juga ruang buat saya penggulungan, lepas-lepas EXCO lepas itu saya dulu ke then bolehlah. Saya harap kalau nak buat kenyataan, buat kenyataan saja.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Tak apa kalau tak nak jawab tak apa. Tetapi...

Speaker

Bukan tak mahu balas Yang Berhormat, tak ada ruang,

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Tak ada ruang untuk balas.

Speaker

Jadi sebab itulah daripada yang sebelum ni tadi nak ada apa nama boleh mencelah. Tapi tak apa, tapi tak apa ruang Persidangan kita ni bukan tamat pada kali ini sahaja, ada lagi di Persidangan mungkin ruang di situ kita boleh gunakan.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Itu sebabnya kita buat cadangan untuk memasukkan peruntukan dalam apa ni Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Mesyuarat Dewan Negeri supaya membolehkan pihak yang berkenaan untuk membuat pencelahan, kalau tidak kadang-kala juga tidak adil dan, tak apa kita boleh bincang perkara ini dalam Jawatankuasa Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah.

Masalah negara kita ialah hutang yang terlalu besar. Walaupun kerajaan negeri Johor dalam beberapa tahun ini kedudukan kewangan kita kalau kita tengok berapa tahun kebelakangan ini memang dia ada bertambah baik tapi surplus ada kurang, setiap tahun surplus ada kurang.

Saya beri satu butiran, menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Johor 2015 dan juga 2016, surplus 2013, RM617.79 juta. tahun 2014 surplus semakin berkuranganlah RM359.41 juta. Tahun 2015, RM153.38 juta. Tahun 2016 RM119 juta. Memang ada berkurangan surplus, maka saya juga ingin menyeru kerajaan negeri yang ada sekarang ini supaya dalam perbelanjaan kita lebih berhati-hati seperti yang di dalam titah Tuanku, perkara 15 dan 16 berkenaan surplus dan 14 dan 15 maaf, 14 dan 15 berkenaan surplus dan perbelanjaan pengurusan kerajaan negeri.

Saya juga dimaklumkan oleh setengah-setengah jabatan dan juga barisan EXCO yang Harapan ini bahawa ini sekarang juga amat sukar mendapat peruntukan daripada persekutuan, kerajaan persekutuan kerana kesuntukan wang, kesuntukan wang. Tetapi saya nak menyeru kepada kerajaan Persekutuan, peruntukan-peruntukan untuk pembangunan seperti kemudahan asas perlu di, kalau boleh, kalau masih ada wanglah sila salurkan kepada kerajaan negeri seperti pembinaan jalan, jambatan, jejantas, perkhidmatan

air. Ini semua yang basic-basicnya. Kalau boleh kerajaan persekutuan memberikan pertimbangan yang sewajarnya menyalurkan kepada kerajaan negeri supaya projek-projek semua ini dapat dijalankan untuk kesejahteraan rakyat setempat.

Tuan Speaker, masalah pencemaran udara. Saya sekarang masuk isu-isu tempatan, pencemaran udara daripada sebuah kilang milik Mestika Sdn. Bhd. yang terletak di sempadan Tangkak dan Jementah masih tidak selesai. 2 tahun masih tidak selesai sehingga hari ini. Jementah masih mendapat aduan daripada penduduk-penduduk setempat khususnya daripada Kampung Paya Jakas yang amat dekat lebih kurang tak sampai 1 kilometer daripada kilang tersebut dan juga penduduk-penduduk Taman Jementah Baru. Kacau ganggu bau itu khususnya bila cuaca dingin atau selepas hujan. Perkara ini saya sudah beberapa kali bangkit dalam Dewan yang mulia ini. Ha, ini semualah kerjalah kerajaan yang lepas ini yang tidak mengenalpastikan bahawa semua syarat-syarat sudah ditemui baru luluskan pembinaan kilang tersebut dan mengizinkan kilang itu mengoperasi. Saya difahamkan bahawa syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Alam Sekitar sehingga hari ini masih ada beberapa lagi syarat yang belum disempurnakan oleh pihak kilang, seperti pemasangan biogas plant sehingga hari ini setahu saya pun belum lagi.

Maka saya ingin menyeru Kementerian Alam Sekitar supaya mengambil perhatian berkenaan perkara ini. Baru-baru ini saya juga mendapat jawapan daripada Jabatan Alam Sekitar berkenaan dengan pencemaran air sungai, sebab memang ada air sungai di sekitar Jementah ini sudah jadi warna keperangan macam sudah warna hitam. Saya ada pergi tengok beberapa anak-anak sungai di sekitar Jementah yang berdekatan dengan kilang tersebut, warnanya sudah tukar dan memang ada buat pertanyaanlah berkenaan dengan sama ada kah air sungai telah dicemarkan. Dan saya mendapat jawapan semalam tetapi saya merujuk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 Akta 127 Peraturan-Peraturan Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah. Jawapan yang diberi parameter ada 6, tetapi saya rujuk kepada Jadual Kedua Peraturan 12 (2) dan (3) sebenarnya parameter ada 7, kurang satu parameter suhu saya tak tahu kenapa tidak masukkan dalam jawapan yang diberikan. Saya mohon satu penjelasan atau pencerahan daripada pihak Yang Berhormat EXCO berkenaan dengan isu ini.

Satu lagi, berkenaan dengan jawapan yang saya terima daripada Ahli Parlimen Segamat, yang membuat pertanyaan kepada Menteri Industri Utama. Berkenaan mengapa MPOB memberi kelulusan kepada kilang tersebut untuk beroperasi? Dan maklum balas daripada Kementerian Industri Utama, mengatakan bahawa lesen, itu jawapanlah daripada Kementerian Industri Utama, lesen memulakan pembinaan kilang buah kelapa sawit atau mereka panggil YBlah, diluluskan kerana kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar dan juga Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Negeri Johor. Maka, saya ingin tahu daripada pihak UPEN, apakah asas-asas kelulusan diberikan kepada kilang tersebut? Daripada aspek kesesuaian premisnya. Sebab dia berdekatan, tak jauh daripada kediaman penduduk-penduduk setempat. Saya mohon satu jawapan sebab kita perlu ada satu apa ni, jawapan yang sangat jelas supaya kita lebih tahu siapa sebenarnya yang perlu bertanggungjawab untuk perkara ini. Sudah berlarutan hingga 2 tahun sehingga hari ini masih tak selesai. Saya juga dimaklumkan bahawa jawatankuasa membantah kilang tersebut telah membuat laporan Polis dan juga laporan, membuat laporan kepada SPRM, untuk meminta pihak SPRM menyiasat, sama ada kelulusan diberikan kepada kilang ini untuk beroperasi melibatkan unsur-unsur jenayah rasuah. Itu belum dapat jawapanlah. Tapi saya dimaklumkan mereka telah membuat apa ni, laporan kepada SPRM. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Hasrat penduduk-penduduk setempat ialah supaya kalau boleh kilang itu ditutup dan dipindahkan ke tempat lain, secepat mungkin. Tetapi kerajaan juga perlu fikirlah, macam mana kalau boleh, mengadakan satu win-win situation lah. Kita tidak mahu paksa, sebab mereka datang melabur, mereka juga ada apa ni, pihak kilang lah. Supaya boleh tak ada satu jalan penyelesaian yang apa ni, yang menggembirakanlah semua pihak lah. Ini saya tak tahu sama ada pihak yang berkenaan boleh mempertimbangkan perkara ini.

Seterusnya, saya nak masuk kepada soalan berkenaan dengan stesen bas di Jementah. Jementah selepas memang Jementah dalam berapa tahun ini dia ada membangun agak pesatlah. Dan jalan daripada Jementah ke Muar pun sudah dinaiktarafkan. Tetapi masih kurang sebuah stesen bas di kawasan Jementah.

Speaker

Yang Berhormat ada 2 minit lagi ya.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Ya. Sebab saya bangkitkan perkara ini kerana saya sering nampak sebab saya di kawasan saya sering nampak bas hanya berhenti di tepi jalan sahaja, sedangkan jalan tersebut sudah dinaik tarafkan kepada dua lorong, dan merupakan satu jalan yang apa ni kelajuan tinggilah. Sangat cepat kenderaan-kenderaan yang melalui kawasan itu. So, bas kalau berhenti di tepi jalan agak bahaya juga kepada pemandu bas dan juga kepada penumpang-penumpang. Maka saya mohon jasa baik kerajaan negeri supaya apa ni, lihat macam mana boleh ada satu pembinaan satu, sebuah stesen baslah di Jementah. sebab saya difahamkan oleh pihak Perancangan bahawa memang ada perancangan untuk membina sebuah stesen bas di Jementah, tetapi tak ada tanah. Kekurangan tanah untuk membina stesen bas tersebut. Maka, saya menyeru kerajaan negeri dan PBT supaya menolong rakyat-rakyat setempat supaya mengadakan satu, sebuah stesen bas di kawasan Jementah.

Tuan Speaker, berkenaan dengan banjir kilat yang baru-baru ini berlaku di permulaan tahun inilah, Januari sudah berlaku 3 kalilah, banjir kilat di sekitar kawasan Sg. Siput, Jementah. Saya berharap pihak jabatan JPS ke, pihak kerajaan negeri ke, mengambil perhatian berkenaan dengan perkara ini dan mencari satu jalan penyelesaian, sebab banyak kawasan-kawasan rendah, hujan lebat sahaja, banjir kilat berlaku di kawasan-kawasan itu. Seterusnya...

Speaker

Masa dah tamat. Mohon gulung.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Seterusnya di Sg. Siput...

Speaker

Gulung.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Ya. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon jasa baiklah, jabatan berkenaan supaya meneliti perkara ini. Kalau boleh menyelesaikan masalah ini jugalah. Sebab kita tak mahu rakyat setempat sengsara setiap kali hujan lebat, banjir kilat datang, dan perkara ini idak seharusnya berlanjutan lagilah. Kalau boleh ada satu jalan penyelesaian yang konkritlah untuk menyelesaikan masalah ini. Maka, oleh kerana kesuntukan masa, saya memohon sokong rundingan yang di bawa oleh Senggarang. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ok. Terima kasih daripada Jementah. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, oleh kerana sesi perbahasan Ahli-Ahli Dewan telah selesai pada hari ini, Dewan akan ditangguhkan awal dan disambung Persidangan pada hari esok, 16 Ogos 2018 jam 9.30 pagi. Esok juga Yang Berhormat EXCO-EXCO akan mula membuat penggulungan bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh semua Ahli-Ahli Yang Berhormat selama 4 hari sebelum ini. Jadi, Ahli-Ahli Yang Berhormat, dengan ini saya tangguhkan sehingga hari esok, Khamis 16 Ogos 2018 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.10 tengah hari.